Johor · 16 August 2018

1st session, 2nd meeting · 192 turns · 34,576 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera.(Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, alhamdulillah hari ini kita telah berada pada hari yang keenam dan hari ini kita akan memfokus kepada jawapan daripada barisan EXCO, semua EXCO, insya-Allah, akan memberi jawapan-jawapan mereka pada hari ini dan kita beri lebih masa kepada EXCO-EXCO yang mempunyai soalan-soalan yang banyak dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan sebelum ini.

Soalan LisanQuestions

Speaker

Yang Berhormat Pekan Nenas, jemput.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 1.

Sila nyatakan jenis-jenis cukai taksiran yang dilaksanakan serta kadar cukainya bagi setiap PBT. Adakah kerajaan merancang menurunkan kadar cukai taksiran untuk meringan bebas kos sara hidup rakyat?

Speaker

Silakan Yang Berhormat EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih atas soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pekan Nenas.

Yang Berhormat Tuan Speaker, cukai taksiran merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan. Cukai taksiran ni dikenakan oleh PBT ke atas pegangan bercukai di kawasan masing-masing berdasarkan 2 Seksyen dalam Akta Kerajaan Tempatan iaitu Akta 171, yang berkaitan dengan cukai taksiran ini antaranya adalah Seksyen 127 iaitu Pihak Berkuasa Tempatan boleh dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu mengenakan sama ada secara berasingan atau sebagai satu kadar yang disatukan, kadar atau kadar-kadar tahunan dalam sesuatu kawasan pihak tempatan bagi maksud Akta ini atau bagi maksud lain yang mana adalah kewajipan Pihak Berkuasa Tempatan itu menyempurnakannya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Jenis cukai taksiran yang dikenakan adalah berdasarkan jenis pegangan yang terdapat di dalam PBT. Pembahagian mengikut jenis pegangan ini telah dijelaskan di dalam Seksyen 129 Akta yang sama iaitu membahagikan kawasan dan pegangan pada maksud kadar. Seksyen 129 berbunyi seperti berikut : Bagi maksud-maksud bahagian ini Pihak Berkuasa Tempatan boleh membahagikan kawasannya kepada 2 bahagian atau lebih dan boleh mengenakan bahagian dan atau bahagian-bahagian yang berasingan itu mengenakan apa-apa kadar atau kadar-kadar yang difikirkan patut dan wajar dan Pihak Berkuasa Tempatan boleh selain daripada itu mengenakan dalam bahagian-bahagian atau bahagian dalam bahagian atau bahagian-bahagian itu satu kadar yang berlainan mengikut kegunaan sebenar pegangan itu atau bahagian pegangan itu. Antara jenis-jenis pegangan yang dikenakan cukai adalah kediaman atau perumahan, perniagaan, perindustrian, pertanian, harta khas iaitu sebagai contoh loji air, PUB ataupun menara telekom itu tergolong sebagai harta khas.

Dan, PBT telah pun menurunkan kadar cukai bagi beberapa jenis pegangan di kawasan masing-masing melalui perlaksanaan penilaian semula yang telah diadakan pada tahun 2013 dan 2014 serta dikuatkuasa pada tahun 2015. Pecahan atau butiran kadar-kadar yang diturunkan akan saya berikan kepada Yang Berhormat Pekan Nanas sebab dia melibatkan angka yang begitu halus dan panjang lebar. Itu saja Yang berhormat Speaker.

Speaker

Ya, Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya nak tanya macam mana keadaan status kewangan setiap Pihak Berkuasa Tempatan dan sekadar mana Kerajaan Tempatan dapat mengurangkan cukai taksiran yang dijangkakan iaitu berapa nilai anggaran yang mungkin dapat dikurangkan untuk meringankan beban rakyat itu.

Speaker

Silakan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Yang Berhormat Speaker sebenarnya Yang Berhormat Pekan Nanas dah sebut tentang cukai taksiran dalam kita membincangkan cukai taksiran ini dia melibatkan 2 aspek, satu berkenaan kadar dan dua berkenaan nilaian. Kedua-dua aspek ini merupakan unsur yang penting, elemen yang penting untuk menentukan berapakah cukai taksiran yang akan dibayar oleh pembayar cukai.

Mengikut Akta yang sama iaitu Akta 171, setiap 5 tahun Pihak Berkuasa Tempatan perlu, boleh menjalankan nilaian semula. Bagaimanapun, apa yang berlaku sebelum ini iaitu dalam pentadbiran lama, nilaian semula itu dijalankan selepas satu tempoh yang begitu lama di mana ada yang lebih daripada 10 tahun. Maka, ianya akan menggambarkan satu peningkatan yang begitu tinggi dan selalunya ini juga akan menyebabkan bahawa cukai taksiran yang telah dibayar oleh pembayar cukai akan bertambah secara mendadak. Dan, ini telah mengundang rungutan daripada pembayar cukai. Sebenarnya penetapan nilaian semula setiap 5 tahun ini perlu diikut sebab dengan cara ini hanyalah nilaian harta di suatu kawasan itu dapat membayangkan keadaan semasa. Jadi, untuk mengelakkan penambahan secara mendadak dari segi jumlah cukai yang perlu dibayar oleh pembayar cukai. Pihak Berkuasa Tempatan akan menurunkan kadar sebagai satu langkah pelarasan cukai, jumlah cukai taksiran yang telah dikutip.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, dalam ke semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan, sebenarnya pungutan hasil, pungutan hasil yang dijana melalui sama ada hasil cukai ataupun hasil bukan cukai, sebenarnya agak membimbangkan dan kebanyakan PBT-PBT ini sebenarnya bergantung kepada terimaan bukan hasil iaitu peruntukkan sama ada daripada kerajaan negeri ataupun kerajaan Persekutuan untuk menjalankan perbelanjaan di PBT.

Di antara 16 Pihak-Pihak Berkuasa dalam Negeri Johor ini hanya 6, sahaja PBT yang boleh menampung perbelanjaannya dengan hasil yang dikutip. Bermaksud kerajaan perlu membantu 10 PBT yang lain. Ini, ini juga dapat dibayangkan dengan, di mana saya juga ambil juga angka, di mana saya, kita tolakkan hasil tersebut daripada perbelanjaan mengurus. Sekiranya, tiada pembangunan hanya hasil yang dikutip itu hanya digunakan untuk perbelanjaan mengurus masih ada lagi 4 PBT yang mengalami keadaan defisit maka memandangkan keadaan Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak begitu kukuh maka cadangan untuk menurunkan cukai taksiran ini perlu dikaji secara mendalam.

Speaker

Sekali saja, Yang Berhormat. Sekali, bagi peluang yang lain.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Ya.

Speaker

Silakan. Johor Lama.

Tuan Haji Roseli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Yang DiPertua Speaker, soalan tambahan saya, sesuaikah PBT Pengerang mengenakan cukai lesen kepada peniaga-peniaga di kawasan FELDA sedangkan mereka belum pernah lagi memberi servis ataupun perkhidmatan seperti pembersihan dan sebagainya di kawasan FELDA. Yang saya terima semalam banyak bantahan yang telah dilakukan oleh peneroka-peneroka di kawasan FELDA khasnya di Gugusan Lok Heng Selatan. Terima kasih, Tuan Speaker.

Speaker

Sila, Yang Berhormat EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih atas soalan daripada Johor Lama. Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, sebenarnya soalan ni dah lari daripada soalan pokok bagaimanapun saya rasa, saya cuba menjawab soalan ini. Di mana, sebenarnya lesen ianya bukannya satu bentuk cukai. Betul apa yang disebut oleh Yang Berhormat Johor Lama itu, jika kita ingin mengutip cukai perlu kita memberikan perkhidmatan, perlu ada servis. Bagaimanapun, kita perlu faham bahawa lesen itu bukan satu cukai. Dan,dalam bab ini dan isu yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Johor Lama ini, saya nampak ada pro dan cons dalam isu ini di mana dengan mengenakan lesen kita boleh menjalankan kawalan pembangunan di satu kawasan itu. Kawalan itu kadang kala untuk kebaikan dan kepentingan orang awam juga. Maka, kita tidak boleh melihat isu ini dengan cara begitu sempit sama ada kawasan itu perlu dikenakan cukai atau dikenakan lesen ataupun tidak kerana ianya adalah satu bentuk kawalan pembangunan.

Speaker

Larkin.

Tuan Mohd. Izhar bin AhmadBERSATU · PHLarkin

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, tadi apa yang diterangkan oleh EXCO PBT mengatakan kedudukan kewangan PBT yang tidak begitu kukuh. Di sini soalan saya cukai harta yang ditaksirkan untuk sesebuah harta berdasarkan daripada nilaian taksiran yang bagaimana adakah mengikut nilai pasaran yang dibuat dengan izin panel-panel Registered Valuer dan kedua apakah bentuk perancangan PBT untuk lebih efisien untuk mengutip segala cukai-cukai yang tak berbayar? Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih daripada, soalan daripada Yang Berhormat Larkin. Yang Berhormat Larkin telah menimbulkan 2 soalan antaranya apakah kaedah di mana nilaian semula dijalankan. Nilaian semula akan mengikut kadar semasa, nilaian semasa pasaran dan biasanya akan ada pelarasan. Biasanya dan perkara ini akan dilaksanakan dengan melantik penilai-penilai parti ketiga untuk memastikan bahawa segala nilaian itu dijalankan secara profesional dan lancar.

Untuk isu kedua tadi, pungutan, berkenaan pungutan tunggakan itu, sebenarnya PBT sentiasa proaktif dan memikir kaedah yang berkesan untuk menambah baik keberkesanan dan efficiency dalam memungut tunggakan-tunggakan cukai taksiran ini memandangkan, cukai taksiran ini merupakan sumber kewangan yang utama pada PBT. Di mana antara cara-cara ataupun pendekatan-pendekatan yang digunakan termasuklah, pemberian notis peringatan kepada pembayar-pembayar cukai ataupun pemilik-pemilik pegangan melalui Ahli-Ahli Majlis. Memperkerapkan engagement, dengan izin, dengan pembayar-pembayar cukai dengan orang awam tentang kepentingan dan tanggungjawab pembayar cukai untuk menjelaskan segala tunggakan dan cukai taksiran di kawasan pentadbiran, dan juga dengan sekiranya ada kes-kes yang terlalu degil, juga akan membawa kes ke mahkamah melalui tindakan guaman untuk menuntut tunggakan daripada pembayar cukai.

Speaker

Soalan seterusnya, saya beralih ke soalan yang seterusnya. Yang Berhormat Penawar jemput.

Assalammualaikum warahmatullahi warabarakatuh, salam sejahtera. Soalan saya nombor 2, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Minta dinyatakan bilangan wanita yang berada dalam pasaran pekerjaan mengikut sektor dan apakah yang akan dilakukan supaya wanita dapat merebut peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti yang dijanjikan oleh Kerajaan PH.

Speaker

Jemput, YB EXCO..

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih Tuan Speaker, dan terima kasih Yang Berhormat Penawar. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, bilangan wanita Johor yang bekerja pada tahun 2017 adalah 5.2% daripada jumlah penduduk bekerja Johor iaitu 1,614,700 orang, iaitu seramai 562,100 orang. Bilangan ini adalah kedua tertinggi selepas Selangor, iaitu seramai 1,444,700 orang. Penyertaan range umur ialah di antara 25 hingga 34 tahun, yang kerja dan kebanyakan mereka memegang diploma dan ijazah. 6.4% daripada jumlah bilangan yang dinyatakan, bekerja di dalam sektor berkemahiran tinggi, seperti pembuatan kayu-kayuan, dan juga silap sorry. Iaitu 6.4% ialah di bidang yang berkemahiran tinggi. Penyertaan wanita bekerja di Johor boleh ditingkatkan dengan galakan kepada industri yang lebih sesuai dengan wanita seperti call centre, businessprocess out sourcing, perbankan dan industri-industri berkonsepkan office base. Kita juga telah memperkemaskan fokus dan hala tuju Unit Swadaya Insan Negeri Johor, bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan masyarakat mengenai potensi kerja yang ada dan seterusnya memastikan peluang kerja dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan umur dan jantina dengan penstrukturan semula pembangunan kemahiran oleh penyelia-penyelia latihan di Johor.

Antaranya ialah dengan mengadakan promosi, program-program latihan kemahiran di peringkat sekolah dengan potensi pekerjaan yang ada supaya para pelajar lebih jelas tentang bentuk peluang kerjaya yang ditawarkan berdasarkan kelayakan dan kemahiran yang diperolehi. Bentuk aktiviti yang dilaksanakan memfokuskan kepada penyesuaian dwi-pelajar dengan bidang pekerjaan berkemahiran tinggi, termasuk dari segi minat, bakat dan kesesuaian jantina. Selain diberi pendedahan berpersepsi bahawa pekerjaan kemahiran tinggi hanya sesuai untuk golongan lelaki yang dapat di tubuh di kalangan pelajar. Kerajaan negeri berharap pelaksanaan ini akan menggalakkan penyertaan pelajar secara umum dan seterusnya memupuk minat kepada pelajar perempuan untuk mencebur diri di dalam bidang kemahiran tinggi yang biasanya didominasi oleh lelaki. Sebagai contoh, daripada beberapa siri program latihan kemahiran yang dikoordinasi di bawah Unit Swadaya, 30% penyertaan adalah wanita terutama di dalam bidang hospitaliti dan pelancongan. Peratusan ini dijangka akan meningkat dengan berkembangnya industri hospitaliti dan pelancongan yang sedang bertapak di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Ya Yang Berhormat silakan.

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Jelas wanita merupakan tenaga utama dalam merancakkan ekonomi negara. Soalan tambahan saya, bagi membantu wanita meningkatkan kemahiran apakah insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan dan berapa bilangan wanita yang terlibat dalam bidang kemahiran tinggi mengikut kaum serta nyatakan bidang-bidang tersebut dalam, dalam kerajaan dan juga dalam swasta? Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Saya juga maklum kepada Dewan yang mulia bahawa pertama kali di Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan kita ada Timbalan Perdana Menteri, seorang wanita. Tuan Speaker, langkah-langkah yang

diambil oleh kerajaan untuk mendorong pekerja wanita menceburi di pasaran pekerjaan ialah :-

1. Bekerja separuh masa. Jadi beri peluang kepada mereka untuk kerja di masa fleksibel, flexible time.

2. Staggered working hours, iaitu amalan terbaik dalam industri iaitu SWHA, contohnya Syarikat Berjaya Corporation Berhad telah melaksanakan SWHA mulai 1 Januari 2016 di mana 3 jenis waktu kerja telah diperkenalkan untuk dipilih oleh pekerja-pekerja wanita mengikut kesesuaian. Praktis telah memberi satu keseimbangan antara komitmen keluarga dan kerjaya.

3. Kemudahan pusat asuhan kanak-kanak. Pihak majikan adalah digalakkan untuk menyediakan kemudahan ini sebagai kemudahan kepada golongan pekerja wanita.

4. Kemudahan cuti bersalin. Akta Kerja 1955, yang merupakan satu undang-undang yang menjaga kebajikan negara ini, telah memperuntukkan mengenai kewajipan majikan untuk memberi cuti bersalin sekurang-kurangnya 60 hari kepada semua pekerja wanita di Semenanjung Malaysia tanpa mengira had gaji. Ini merupakan salah satu pindaan yang dibuat kepada Akta ini pada tahun 2012, yang mana sebelum itu kemudahan cuti bersalin hanya kepada wanita yang bergaji RM1,500 dan ke bawahnya. Melalui pindaan tersebut, ia membolehkan pekerja wanita tanpa had gaji, layak untuk menikmati faedah ini sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta. Selain itu, ia juga adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pekerja wanita yang sedang dalam tempoh cuti bersalin diberhentikan kerja tanpa alasan yang munasabah.

5. Mengujudkan persekitaran tempat pekerjaan yang selamat. Kerajaan juga menitikberatkan keselamatan pekerja wanita di tempat kerja. Ini dapat dilihat melalui Akta Kerja 1955, yang melarang mana-mana pekerja wanita bekerja pada waktu malam, melainkan dengan kebenaran daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja. Akta juga melarang pekerja wanita diarahkan bekerja di bawah tanah. Peruntukan-peruntukan ini dibuat untuk mewajibkan majikan menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat kepada golongan ini. Yang ke....

Speaker

Yang Berhormat, tadi yang diminta tadi adalah statistik tadi statistik macam mana...

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Ini ialah langkah-langkah mengalakkan wanita menceburi pekerjaan. Yang akhir sekali, home working iaitu kerja di rumah. Inilah langkah-langkah galakan untuk mereka. Statistik, saya tidak ada statistik mengenai kaum ok, tetapi lelaki wanita saya ada statistik khususnya di kerajaan, iaitu Jabatan negeri, 41.4% ialah wanita, PBT 27.1% ialah wanita, Badan Berkanun Negeri 48.4% ialah wanita. Pada keseluruhannya 37% di kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawah ialah...

Yang Berhormat Speaker, saya rasa Yang Berhormat EXCO tidak dapat menjawab soalan saya. Saya beri ruanglah kepada Yang Berhormat EXCO untuk menjawab secara bertulis.

Speaker

Tak ada. Seterusnya soalan Yang Berhormat Panti.

Bismillahirahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi warabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.

Minta dinyatakan secara terperinci perancangan kerajaan untuk meluaskan lagi perkhidmatan pengangkutan awam diseluruh Negeri Johor dalam tempoh 5 tahun serta sasaran jumlahnya setiap kategori pengangkutan awam tersebut.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Jemput Yang Berhormat.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi warabarakatuh. Bismillahirahmaanirrahim. (Berselawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Panti, sebelum saya menjawab saya ucapkan terima kasih kepada EXCO yang lama dan juga IRDA dan SPAD yang telah menyediakan pelan induk pengangkutan awam Johor 2015-2045. Jadi, bagi tempoh 5 tahun akan datang, sudah tentulah kita kerajaan yang baru komited ya, tentang pelaksanaan, mempertingkatkan dan memperluaskan perkhidmatan awam di negeri Johor. Dan sebenarnya dalam pelan induk ni, saya berceritalah, sebenarnya kalau sepatutnya yang tahu yang lebih tahu benda ni EXCO yang lepas. Tapi Panti tak apalah, saya pun tak salah Panti, kita pun baru sama-sama baru masuk Dewan kita nak tahu secara detail. Ok, dalam pelan induk tu terdapat sistem BRT Bas Rapid Transit yang menelan belanja RM2.5 bilion. Ada bas SBST iaitu stage bus service transformation iaitu lebih kurang dan ada ETS, landasan berkembar dan ada RTS, Rapid Transit System yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dan ada high speed rail, tapi high speed rail dah ditangguhkan oleh kerjaan pusat dan ada juga Bas Muafakat, yang terbaru Bas Harapan Johor.

Dalam masa yang sama kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor akan meneruskan perancangan untuk melaksanakan transformasi tersebut. Dan satu lagi, kerajaan memandang tentang mempertingkatkan mutu perkhidmatan teksi dan juga kereta sewa, dengan kepada sistem diklasikan kepada Mobility Management System MNS sistem yang akan memperkenalkan pada masa akan datang tetapi ini masih dalam kajian lagi, masih dalam kajian dan juga kita PAJ akan cuba memperkenalkan high link yang sama apps ni di aplikasi sistem Grab dan Uber, dan kita dan teksi ni tidak boleh ketinggalan macam gitu maklumkan pada zaman IT kita memerlukan sistem yang tersebut, dan di bawah kelolaan Perbadanan Pengangkutan Awam bukan swasta, macam Grab ni swasta. Yang kita buat link teksi ni di Perbadanan Pengangkutan Awam Johor. Jadi dengan ada sistem tersebut memudahkan pengguna untuk membuat tempahan dan juga memberi lebih peluang dari segi pasaran untuk mendapatkan penumpang kepada pemandu teksi dan harga pun akan dilihat balik, disemak balik kosnya lebih kurang sama dengan apa ni, sistem Grab dan juga Uber. Terima kasih. Boleh setakat tu?

Speaker

Ya, Panti. Ada soalan tambahan?

Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Cuma seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO tadi tentang salah satu apa, pengangkutan awam yang akan dibangunkan adalah BRT iaitu Bus Rapid Transit. Saya dengar macam-macam tentang perkara ini, akhir-akhir ini yang antaranya ada yang mengatakan bahawa perancangan atau pun pelan ini hendak dibatalkan ataupun saya tak tahu mungkin ditangguhkan sebagainya. Cuma, seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO tadi dalam pelan transformasi tersebut, BRT adalah salah satu elemen dia dan sudah tentu kajian yang mendalam telah dilakukan dan kita pun tahu perkara ini bajetnya atau pun dana kita perolehi daripada Persekutuan dah dipersetujui dan saya tahu saya dapat maklumat sudah lebih kurang dalam RM4 juta pun dah dapat untuk kerja-kerja awal. Cuma, soalan saya, saya nak tahu sama ada betul atau tidak program ini diteruskan. Jika betul, kita fahamlah kenapa dan jika tidak saya minta satu justifikasilah kenapa ia tidak diteruskan ataupun perlu ditangguhkan dan sebagainya. Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih Yang Berhormat, Yang Berhormat Speaker. Sebenarnya kita dalam proses awalan lagi bila kita ambil alih 3 bulan, kita dalam proses kajian dan kita tidak pernah membuat pengumuman untuk membatalkan projek tersebut. Tapi, kita tengah membuat kajian kesesuaian untuk kita membuat sistem tersebut mengambil kira tentang rizab jalan. Jadi, terutama jalan bila kita perhatikan kita dah ada satu mesyuarat, bila kita perhatikan kos yang melibatkan satu, RM2.5 bilion ini ada perkara-perkara kos yang tidak masuk termasuk pengambilan tanah dan sebagainya.

Dan, bila kita lihat dari segi kos section drawing iaitu keratan rentas lukisan teknikal dalam proposal yang kita lihat, bahawa BRT ini memerlukan lorong yang lebih, space yang lebih daripada jalan yang ada. Kalau di Jalan Skudai tu macam tak ada masalah sangat. Di Jalan Tebrau terutama di Melodies Garden, depan Century Garden tu kalau kita buat di situ, jalan situ adalah sekarang existing yang ada adalah 4 lorong. Kalau kita buat BRT satu stesen kat tengah, satu lorong bas pergi, satu lorong bas balik dah habis 3. Lepas tu kereta lagi nak lalu, kalau satu lorong, satu lorong dah ada 5 sedangkan lorong dah ada 4. ROW pun dah habis hujung. Kalau kita nak buat tambah lagi 2 lorong kereta, 2 lorong pergi balik, maknanya kita ada mengekalkan 4 lorong kereta, 2 pergi dan 2 balik, kita terpaksa merobohkan apa ni, ambil parking-parking di depan-depan kedai. Saya rasa mungkin dulu tidak kaji dari segi implikasinya. Kalau kita ambil apa ni parking-parking kedai tersebut, kedai tersebut tidak boleh beroperasi dan tak ada orang meniaga dan tentunya kita akan timbul masalah protes bantahan daripada tuan punya kedai. Oleh sebab itu bukanlah kita cakap kita tidak mengumumkan projek ini akan gagal dan sebagainya. Ikut kesesuaian. Mungkin kita akan propose satu sistem yang dia boleh link kan, boleh jadi apa lebih monolitik antara BRT dan sistem yang baru. Dan, saya tak nak umumkan sistem yang baru selagi ia tidak dapat confirmation yang muktamad. Terima kasih.

Speaker

Layang-Layang.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNLayang-Layang

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Perkhidmatan bas awam di kawasan Layang-Layang, Simpang Renggam telah diberhentikan dan ia telah menyebabkan kesukaran untuk penduduk di Layang-Layang, Bandar Renggam untuk pergi ke hospital, untuk pergi ke sekolah dan sebagainya. Jadi, saya nak tahu daripada Yang Berhormat EXCO, apakah perancangan untuk kerajaan negeri menyelesaikan masalah pengangkutan awam di Layang-Layang ini? Terima kasih.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Ok. Laluan daripada. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih soalan tadi. Laluan daripada Renggam ke Kluang dan juga Renggam ke Simpang Renggam telah diberhentikan operasi oleh tuan punya syarikat dan saya dah jumpa secara peribadi tuan punya syarikat memang tidak akan meneruskan perkhidmatan sebab apa, kerugian dan pendapatan yang dia dapat memang tidak boleh untuk cover, dengan izin, cover dia punya overhead. Jadi, kita telah mengambil inisiatif melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, kita dah tender pun apa ni, untuk bas Harapan Johor untuk mengambil alih laluan tersebut dan dah finalised dalam proses untuk keluarkan surat tawaran kepada sebuah syarikat untuk ambil alih. Dan, bas Muafakat ni dia punya operasi lebih kurang sama dengan, eh minta maaf, bas Harapan ni, lebih kurang sama operasi dia dengan Bas Muafakat Johor. Jadi, dia akan mengambil alih laluan tersebut. Terima kasih. Secara percuma juga. Terima kasih.

Speaker

Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Tahniah Yang Berhormat EXCO, berkaitan dengan penjelasan terhadap pendirian kerajaan untuk meneruskan program BRT ni. Saya rasa pihak kerajaan Barisan Nasional dulu memahami masalah untuk melaksanakan BRT ini seperti mana Yang Berhormat sebutkan tadi, kekangan-kekangan di, tetapi antara 3 laluan untuk BRT ni, Johor Bahru - Skudai, Johor Bahru - Tebrau dan Johor Bahru – Kota Iskandar ni, dicadangkan supaya dimulakan dengan Johor Bahru ke Kota Iskandar kerana itu adalah merupakan laluan yang mempunyai

kekangan yang paling sedikit, kalau boleh katakan. Jadi memandangkan faedah yang begitu besar yang bakal diperolehi oleh kerajaan negeri, jadi saya ingin mendapatkan pandangan Yang Berhormat, pendirian kerajaan negeri, kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan peruntukan yang atau pun kelulusan yang diberikan untuk projek ini akan diteruskan. Jadi, apa strategi kerajaan negeri kerana banyak faedah bukan hanya dari segi peluang pekerjaan tapi program-program pengangkutan kerajaan negeri yang sedia ada ni akan dapat ditambah baik. Jadi, apakah strategi kerajaan negeri sekarang ini dalam nak memastikan BRT itu diteruskan dan peruntukan yang telah dipersetujukan itu sampai kerana hanya RM4 juta daripada RM2.5 juta, Yang Berhormat sebut tadi. RM4 juta tak boleh pergi ke mana Yang Berhormat daripada RM2.5 bilion. Jadi, apakah strategi Yang Berhormat dalam nak memastikan ianya menjadi kejayaan.

Speaker

Jemput YB EXCO...

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih eh. Jadi, sebenarnya pada 29 hari bulan ada kunjungan Yang Berhormat Menteri Kewangan ke Johor. Jadi, hal ini pun dah di cerita tapi tidak secara mendetail. Tapi insya-Allah cadangan yang dicadangkan kita bermula Kota Iskandar dulu, daripada Johor Bahru laluan route utama dia ada 3 route, yang kedua ni Skudai, yang terakhir yang ketiga adalah Johor Jaya dalam fasa pertama. Jadi, pandangan tu kita ambil kira dan ni kita akan berusahalah menggembleng usaha untuk sama-sama untuk mendapatkan peruntukan yang sepatutnya untuk menjayakan projek tersebut. Di samping tu, dalam usaha kita pun kita kena sertai dengan doa, doa bukan saya yang doa, tuan-tuan di sebelah, Yang Berhormat sebelah dan doa rakyat Johor supaya projek ini dapat diberi priority oleh kerajaan Persekutuan. Dan, minggu hadapan sebenarnya saya ada perjumpaan dengan Kementerian Pengangkutan di Kuala Lumpur dan kita akan bawa lagi projek ini supaya diletakkan sebagai keutamaan, priority. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Benut, jemput.

Yang Berhormat Speaker, terima kasih. Soalan saya no. 4.

Minta dinyatakan rancangan Kerajaan Negeri untuk membina Loji Rawatan Air di Kahang dan keupayaan loji tersebut bagi menampung keperluan bekalan di Daerah Kluang.

Speaker

Jemput, YB EXCO...

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Yang Berhormat Tuan Speaker. Cadangan untuk pembinaan Loji Rawatan Air Kahang Baru dan sistem agihan dari Loji Rawatan Air (LRA) Kahang ke bandar Kluang telah bermula pada 28 November 2017. Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di mesyuaratnya pada 3 Januari 2018, sebagaimana Ringkasan Mesyuarat Bilangan 45/2018 telah menangguhkan pembinaan Loji Rawatan Air Kahang. Pada masa ini hanya kerja-kerja penyaluran air mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur sedang dilaksanakan dengan kos sebanyak RM53.99 juta.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Loji Rawatan Air Kahang yang dalam rancangan asal untuk dibina akan mendapat saluran air mentah terus dari Empangan Kahang dan digunakan untuk penyaluran air terawat dengan kapasiti untuk merawat 40 juta liter air sehari dengan penyediaan infra bagi tambahan 40mld lagi sekiranya perlu. Status terkini kemajuan kerja-kerja pembinaan piping adalah 83.35% dan dijangka boleh siap pada hujung bulan September 2018. Dengan adanya bekalan air mentah dari Empangan Kahang ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur dan keupayaan Loji Rawatan Air Sembrong Barat yang telah dinaiktaraf dan boleh memproses tambahan 30mld dan memandangkan penggunaan air terawat bagi keseluruhan daerah Kluang adalah lebih kurang 90mld sebenarnya bekalan air untuk kawasan tersebut adalah mencukupi buat masa ini. Walau bagaimanapun, untuk mengelak daripada krisis air seperti dari tahun 2015 dan gangguan bekalan air di daerah

Kluang dan memandang juga pembangunan ekonomi di kawasan tersebut saya telah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan telah bersetuju untuk meneruskan dengan pembinaan Loji Rawatan Air Kahang Baru ini. Sekian.

Speaker

Ya Benut, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat EXCO tahniah di atas keputusan untuk meneruskan pembinaan Loji. Yang Berhormat Tuan Speaker, salah satu daripada hasrat kerajaan negeri yang lalu ialah supaya kita dapat menguasai kuasa, suara yang lebih dalam Syarikat Air. Salah satu daripada pihak yang kita rujuk untuk pembangunan sumber atau pun pembangunan bekalan.

Jadi, Yang Berhormat, saya dapat maklum bahawa syarikat air telah membina desolve air flowtation (DAF) yang menjadikan Loji Sembrong Barat daripada keupayaan reka bentuknya ialah 80 juta liter sehari dengan adanya DAF tersebut, loji tersebut mampu memproses air secara atau pun mengeluarkan air to the design maksimum dia 80. Kemudian di Sembrong Timur kita ada 30 juta liter sehari bekalan kemampuan. Sebab itu, bila kerajaan dulu menegur saya kerana kenapa bina empangan tak nak buat loji, nak bela ikan ke? Masalah di Kluang ialah bukan soal bekalan, masalah di Kluang ialah soal sumber bekalan air. Jadi, Loji Sembrong Timur daripada sungai Sembrong Kiri tu tak cukup bekalan airnya. Sebab itu kita pindahkan dahulu air mentah daripada Empangan Kahang ke Sembrong Timur. Jadi, untuk itu Yang Berhormat, sekarang ni dah ada 110 syarikat air dah berbelanja bekalan keupayaan bekalan sekarang ialah 110 juta liter sehari dan bekalan permintaan adalah 90 juta liter sehari. Jadi, kalau Yang Berhormat nak terus juga dengan pembinaan loji itu satu pendekatan yang mungkin tidak strategik sebab itu akan menggunakan peruntukan kerajaan negeri. Jadi, kerajaan akan membelanjakan wang yang tidak diperlukan pada waktu ini. Jadi adakah Yang Berhormat sedia untuk melihat semula keputusan kerajaan ini untuk meneruskan pembinaan loji? Saya tak dapat maklumat berapakah kos loji yang terkini untuk Yang Berhormat bina di Kahang ini?. Jadi kalau Yang Berhormat boleh setuju, kita tangguhkan dulu pembinaan loji sehingga satu masa yang agak sesuai, jadi kita akan menjimatkan wang kerajaan. Terima kasih.

Speaker

Di jemput Yang Berhormat EXCO.

YB Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti :Terima kasih kepada soalan daripada Yang Berhormat Benut. Awalnya macam dia sendiri yang jawab soalan dia sendiri. Mungkin dia sendiri pun sudah tahu jawapannya, tapi saya hanya nak mengesahkan memang betul seperti yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Benut. Permintaan untuk daerah Kluang setakat hari ini memang adalah dalam lingkungan 90 mlb dan dengan menaiktaraf loji rawatan air di Sembrong Barat dan Sembrong Timur, mampu naik pengeluaran air terawat mampu untuk naik sebagai pada 110 mlb tapi Tuan Speaker, dia kena faham, ada perkembangan pertumbuhan ekonomi yang pesat di negeri Johor termasuklah juga di daerah Kluang. Kalaulah dulu kerajaan BN dulu menganiayai daerah Kluang atau Johor Timur, di sini kita akan tetap komited untuk membangunkan Johor Timur dan daerah Kluang. Dan oleh itu, kita perlukan sumber air yang baik, yang banyak. Kalaulah dulu, kalau kerajaan dulu hanya bina satu empangan sahaja di sebelah sana, Empangan Kahang, lepas itu dia digelar sebagai The Largest Swimming Pool In Johor, dengan izin, kita tentunya akan tak nak membazirkan empangan itu. Oleh itu, adalah keputusan kerajaan ini untuk teruskan dengan pembinaan LRA Kahang baru ini dan dari segi kos, saya nak sentuh di sini kalau Yang Berhormat Benut sentuh, saya pun nak sentuh, dulu di bawah kerajaan Barisan Nasional, tender untuk projek ini adalah RM127.2 juta, dan paling menariknya ia adalah satu lantikan terus, direct award. Di bawah kerajaan negeri Johor ini, kalau ada sebarang pembinaan, kita tidak akan lagi memberikan lantikan terus. Kita akan open tender dan kita cukup yakin kalau kita buat dengan open tender, kita dapat mengurangkan kos ini dan menjimatkan dana dan duit untuk kerajaan dan dengan penurunan CAPEX itu, kita mungkin juga dapat mengurangkan tarif air di Johor buat kali pertama di dalam sejarah negeri Johor ini sebab kalau semua ingat 2015 yang naik itu, kerajaan Barisan Nasional, bukan naik sikit, naik 25%. Tak apalah itu bab lain saya tak

mahu ceritakan, oleh itu saya hanya nak katakan, kerajaan tetap komited untuk membina LRA air Kahang ini demi kesejahteraan rakyat. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 5.

Adakah kerajaan akan mempertimbangkan untuk menjadikan Kampung Melayu di Bandaraya Johor Bahru sebagai Kampung Melayu Warisan/Tradisi serta destinasi pelancongan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Selamat sejahtera, Salam Harapan Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Stulang untuk mengemukakan soalan ini. Terdapat kira-kira 45 buah kampung tradisi dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru. Antaranya Kampung Melayu Majidee, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Kampung Bendahara, Kampung Bakar Batu, Kampung Plentong Tengah, Kampung Stulang, Kampung Kurnia, Kampung Senibong dan Kampung Mohd Amin. Bagi menambah baik imej kampung-kampung tersebut, perancangan secara komprehensif telah disediakan, antaranya melalui Kajian Rancangan Kawasan Khas bandar raya Johor Bahru yang melibatkan kawasan perkampungan Melayu seperti Kampung Melayu Majidi, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Kampung Bendahara dan Kampung Aman. Melalui kajian tersebut, kampung-kampung warisan tradisi yang telah dikenal pasti akan di beri perhatian khusus sebagai destinasi pelancongan di bandar raya Johor Bahru. Bagi makluman, kajian tersebut kini di peringkat penyediaan draf awal. Melalui kajian tersebut juga, cadangan pembangunan jangka panjang dan program-program jangka pendek yang menyokong kepada aktiviti pelancongan di perkampungan Melayu terlibat dikenal pasti dan ditentukan pendekatan serta kaedah pelaksanaannya. Bagi makluman, kajian ini telah dimulakan pada Mac 2018 dan dijangka berakhir pada Disember 2018. Bagi kampung-kampung yang tidak disediakan pelan pembangunan yang khusus, ia akan tetap di beri perhatian yang sewajarnya melalui projek-projek infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan untuk setiap kampung yang terlibat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Stulang, jemput.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih dengan jawapan yang diberikan dan juga terima kasih di atas inisiatif kerajaan dalam menambah baik nilai pada penempatan kampung Melayu di bandar raya Johor Bahru ini. Jadi boleh tak Yang Berhormat Speaker tolong huraikan tentang kriteria

Speaker

Speaker tak boleh huraikan. Kalau nak tukat tempat boleh juga. (Ketawa)

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Boleh tak Yang Berhormat EXCO tolong huraikan tentang kritiria kampung-kampung tersebut yang di pilih untuk dijadikan sebagai kampung warisan atau tradisi. Adakah kriteria seperti usia kampung, sejarah atau latar belakang kampung dan sebagainya akan di ambil kira dan adakah ia akan menjadi, mengikut model seperti kampung tradisi, Kampung Morten di Melaka Kampung Morten di Melaka yang menjadi salah satu tarikan pelancong di negeri tersebut. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara perkara-perkara yang akan diambil kira semasa kajian kampung warisan tersebut, adalah seperti sejarah, gaya hidup, reka bentuk rumah, aktiviti dan budaya masyarakat kampung berkenaan dan juga kebersihan dan keselamatan kampung berkenaan. Kerajaan negeri juga akan menjadikan kampung tradisi yang telah berjaya seperti Kampung Morten di Melaka sebagai satu contoh kerana apa yang lebih penting

adalah dari aspek pengurusan untuk mengekalkan keaslian kampung berkenaan. Selain itu, adalah inisiatif dari Kementerian Pelancongan dalam mengiktiraf kawasan pelancongan luar bandar perkampungan dengan mengujudkannya Program Kampungstay. Program ini adalah rentetan dari program homestay yang mengetengahkan aktiviti dan gaya hidup masyarakat tempatan sebagai tarikan utama produk tersebut. Sekian terima kasih.

Speaker

Dijemput Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Sebelum itu saya mohon maaf, tadi saya nak cari maklumat pasal soalan saya ini. Apa pun seperti yang semua maklum, di Kota Tinggi, di kawasan saya ada satu kampung, nama dia Kampung Lukut, dan di kawasan tersebut ada satu taman ataupun kawasan pelancongan destinasi pelancongan yang saya rasa sangat berpotensi iaitu RAF Point Adventure. Dia ada pelbagai kemudahan, ada zip line, ada ATV, ada horse riding, tempat perkhemahan dan sebagaimana yang saya rasa sangat berpotensi. Cuma saya nak minta penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO sebab saya dimaklumkan bahawa ada peruntukan yang dah diluluskan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini untuk tempat tersebut, kawasan situ tapi peruntukan tersebut adalah untuk kemudahan-kemudahan asas. Cuma saya nak tanya, apakah status peruntukan tersebut yang berjumlah lebih kurang RM300,000? Jika mungkin apa Yang Berhormat EXCO kalau tidak dapat, tak ada maklumat, mungkin mohon untuk jawab secara bertulis soalan saya ini. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Panti. Sekiranya Yang Berhormat Panti merasai kampung tersebut adalah sangat berpotensi, saya dengan Tourism Johor akan nak melawat tempat tersebut, untuk mendapati sama ada ia akan diteruskan atau tidak. Berkenaan dengan peruntukan dari persekutuan sebelum ini, untuk makluman Yang Berhormat Panti, saya akan merujuk balik kepada persekutuan dan memberikan jawapan seterusnya. Sekian terima kasih.

Speaker

Bukit Naning.

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Tuan Speaker, di kawasan Bukit Naning khasnya di kawasan kampung-kampung di Mukim Ayer Hitam, banyak kawasan tanah-tanah milik persendirian terbiar. Ini adalah kerana faktor pemindahan orang muda ke kawasan bandar dan faktor-faktor lain. Jadi soalan saya Tuan Yang Berhormat Speaker, apakah ada rancangan dari kerajaan untuk membangun tanah-tanah terbiar di kawasan kampung untuk industri pelancongan...

Speaker

Pokok durian ada tak Yang Berhormat?

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Ya?

Speaker

Pokok durian ada?

Tuan Md. Ysahrudin bin KusniPKR · PHBukit Naning

Ada sikitlah. Bagi meningkatkan ekonomi masyarakat orang kampung. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi soalan ADUN Bukit Naning, tanah-tanah terbiar itu mungkin saya kena mengkaji bersama dengan EXCO Kerajaan Tempatan dan juga Luar Bandar sama, tanah apa status tanah tersebut sebelum saya teruskan kepada membangunkan sebagai destinasi pelancongan.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Pemanis, dijemput.

Tuan Dr. Chong Fat FullPKR · PHPemanis

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.

Sila nyatakan feasibility, kemampanan dan anggaran kos keseluruhannya untuk projek Agromix di DUN Pemanis, adakah ia bakal menjadi satu projek Gajah Putih ?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Bismillahirrahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Harapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, projek agromix farm di daerah Segamat merupakan sebahagian daripada program agrotourism di bawah hab pertanian Segamat. Ianya bertujuan untuk melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berjaya di dalam bidang pertanian khususnya, tanaman yang menjadi tarikan pelancongan ke daerah Segamat iaitu tanaman durian, kelapa dan limau barli, di samping ternakan rusa dan lembu dan juga pusat penetasan ikan air tawar seperti baung, talapia dan juga patin. Di samping itu, projek ini juga di harap akan dapat memperkenalkan teknologi dan inovasi pertanian yang terkini untuk dijadikan contoh bagi dilaksanakan oleh petani setempat. Bagi program jangka panjang, dalam tempoh selepas 6 tahun beroperasi, ianya akan dapat menjadi salah satu lokasi pelancongan yang datang ke daerah Segamat untuk merasai sendiri suasana berada di sebuah ladang yang mempunyai gabungan ternakan, tanaman dan akuakultur, di samping memperkenalkan dengan pelbagai variety tanaman durian, kelapa dan limau barli.

Salah satu elemen yang penting di dalam memastikan kejayaan projek ini ialah pemilihan peserta iaitu di pilih melalui proses temu duga oleh panel yang berwibawa, diketuai oleh Pegawai Daerah Segamat dan ahli-ahlinya, terdiri dari Pengarah Pertanian Negeri Johor, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Johor, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor dan juga Pengarah Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia. Peserta yang di senarai pendek akan diperhalusi melalui lawatan ladang ke projek yang diusahakan sendiri oleh peserta bagi menentukan pengalaman dan juga kejayaan peserta terlibat. Bagi tahun pertama iaitu tahun 2017, pelaksanaan projek ini sejumlah RM1,250,000.00 telah dibelanjakan meliputi kos pembersihan kawasan, jalan ladang, pagar kawasan, kolam takungan air, penyediaan sistem pengairan, bangunan pentadbiran, sumber elektrik dan air, kandang ternakan dan juga papan iklan. Adalah diharapkan, berasaskan pemilihan peserta yang berkualiti, melalui lapisan tertentu, modal yang dikeluarkan oleh peserta sendiri dan prospek tanaman, ternakan dan akuakultur yang di pilih, projek ini akan terus berkembang dan memberikan impak berasaskan agro pelancongan yang berkesan kepada daerah Segamat. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Pemanis, soalan tambahan.

Tuan Dr. Chong Fat FullPKR · PHPemanis

Terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya adalah, adakah pasaran hasil projek agromix dan projek yang berkaitan telah dikenal pasti dan saya minta satu minit untuk terangkan soalan ini. Rasional soalan ini adalah untuk memastikan kemapanan projek ini, projek ini kena menguntungkan peserta. Dan apa yang dimaksudkan oleh Pemanis, perkataan ‘pasaran’ adalah hasil yang axcess bermakna macam kalau ada sayur-sayuran yang axcess macam mana kita nak memasarkan ia ataupun hasil yang kurang misalnya ada 10 bas pergi melancong kat sana tapi durian cuma beberapa biji sahaja macam tu. So, itulah maksud dengan pasaran. Maksud dengan kenal pasti oleh Pemanis ini adalah adakah ada satu mekanisme yang sudah wujud seperti mekanisme subsidi ke ataupun adakah ada syarikat, ada pemborong yang sudah dikenal pasti betul-betul, yang boleh mempunyai satu tawaran kepada kerajaan yang flexible, bermakna dia boleh mengambil yang akses, yang surplus hasil dan dia boleh membekal apa yang tidak mencukupi untuk memastikan projek ini terus mampan. Terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Yang Berhormat Speaker,tentang pasaran di Projek Agro Farm ini pada pandangan saya sebetulnya tak ada masalahlah, kerana Agro Mix, dia merupakan satu model, di mana semua peserta yang telah dipilih iaitu terdapat senarai peserta di Agro Mix, mereka merupakan petani-petani, peladang-peladang dan penternak yang telah berjaya di luar. Jadi, kita bawa, kita buat di Agro Mix, hanya sebagai model sebagai show room sahaja.Di mana dia dah ada kebun di luar yang lebih daripada 10 - 20 ekar dan dia buat model, dia macam show room di Agro Mix, di mana keluasan setiap peserta di Agro Mix hanya 2 ekar sahaja. Jadi, di situ ada tanaman jambu variety Segamat, ada tanaman durian variety Segamat, ada penternakan ikan baung, ada penternakan rusa dan banyak lagi tanaman di sana, di mana untuk memudahkan pelancong-pelancong jika mereka datang ke daerah Segamat seperti menjadi satu one shop centre, one stop centrelah untuk di kawasan situ. Jadi, tentang pemasaran sepatutnya tak ada masalah apa lagi daerah Segamat, Jementah, Muar merupakan daerah pertanian yang berjaya terutamanya pertanian tanaman durian. Terima kasih.

Speaker

Ok, silakan.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Tuan Speaker. Selari dengan pandangan, Pemanis bahawa pengeluaran pertanian ada kalanya ada lebihan, ada kalanya ada kekurangan. Jadi, pada pandangan saya, pertanian sepatutnya berintegrasi dengan industri pemprosesan makanan dan juga pelancongan pertanian. Jadi, soalan saya adakah terdapat apa langkah-langkah untuk mengintegrasikan pemprosesan makanan, pertanian dan pelancongan pertanian? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih Tuan Speaker. Untuk sementara memang tiada masalah terhadap lambakan buah-buahan di Johorlah. Pasal selain buah-buahan untuk pasaran tempatan, juga pasaran luar juga kita dah terokailah. Jadi, and then kita juga memperkasakan industri hiliran di mana contohnya yang paling mudah ialah durian. Durian sekarang mendapat permintaan yang luas di luar negara. Jadi, dah ada teknologi yang terkini seperti frozen durian yang untuk memudahkan durian di pasarkan ke luar negara. Begitu juga buah-buahan lain. Dengan teknologi yang terkini banyak buah-buahan di sekitar Segamat, Jementah dan Muar telah dieksport ke luar negara. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.

Adakah kajian telah dilakukan terhadap pemegang sijil UEC berkenaan yang membuktikan mereka tidak menyisihkan diri daripada agenda perpaduan nasional?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Harapan. Tuan Speaker, saya menjawab bagi pihak EXCO Pendidikan. Di peringkat Kementerian Pendidikan, jawatankuasa bagi mengkaji Unified Examination Certificate (UEC) dengan izin, sedang diwujudkan. Jawatankuasa tersebut akan melakukan kajian holistik berhubung sijil peperiksaan bersama (UEC) termasuklah terhadap pemegang sijil UEC untuk memastikan mereka benar-benar setara dari segi aspirasi agenda perpaduan nasional yang diterapkan dalam sistem pendidikan arus perdana negara. Sekian, terima kasih.

Speaker

Parit Raja, jemput.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Kita faham Sijil UEC ini mengambil pendekatan negara Taiwan. Disebabkan oleh geo politik, Taiwan yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat untuk menentang China. Jadi sebab itu Amerika Syarikat ini tak ada masalah langsung untuk mengiktiraf pendidikan Taiwan dan termasuklah juga di Malaysia.Dan kita pun tahu Amerika Syarikat menggunakan Taiwan selepas China dikuasai sepenuhnya oleh komunis. Dan UEC ini adalah satu sijil sekolah swasta yang tidak ada kaitan langsung guru-guru KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pendek kata, Sijil UEC ini dikelolakan sepenuhnya oleh jawatankuasa mereka sendiri.

Soalan saya, adakah wajar standard Bahasa Melayu SJK(C) dipermudahkan berbanding Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dengan alasan jika Bahasa Melayu diselaraskan sama seperti Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan boleh menjejaskan prestasi pelajar Cina di SJK(C) kerana mereka terpaksa beri tumpuan yang lebih kepada subjek Bahasa Melayu? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Parit Raja, sekarang ini pun dah ramai anak-anak Melayu bersekolah di sekolah Cina ya. Jawapan untuk Yang Berhormat Parit Raja, saya akan bagi jawapan bertulis. Terima kasih.

Speaker

Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenar Taiwan, sebenar UEC ini bukan mendapat bahan pengajaran daripada Taiwan dan seluruh Malaysia, dah eh, seluruh dunia ini sudah ada negara-negara yang mengiktirafkan Sijil UEC. Dan China pun sudah mengiktiraf Sijil UEC. Sebab itu, saya nak tanya kepada EXCO dan Dewan ini, adakah soalan-soalan yang dikeluarkan kalau tidak ada kaitan dan berasal daripada maklumat yang tidak betul dan bernas, macam mana tindakan Dewan-Dewan untuk mengatasi masalah ini? Kerana saya risau dia akan menimbulkan satu masalah kepada hubungan di antara Malaysia dengan China ataupun Taiwan. Ini sebenar tidak harus wujud. Sebab itu saya tujukan soalan ini bukan sahaja kepada EXCO Pendidikan, juga kepada Tuan Speaker, supaya menghalang Dewan ini menjadi satu keadaan yang kecoh sampailah menghasilkan iaitu impak yang negatif kepada negara China ataupun Taiwan. Terima kasih.

Speaker

Dewan masih lagi seimbang, masih selamat lagi. Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Itu pandangan sahaja tu, pandangan daripada Pekan Nanas, tetapi saya akan menjawab soalan-soalan kepada wakil rakyat bagi kawasan Parit Raja.

Speaker

Ok, ok.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih...

Speaker

Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat EXCO. Jadi berkenaan dengan soalan ini yang berkaitan dengan, berkenaan dengan pengemukaan Sijil UEC dengan membuktikan mereka tidak menyisihkan diri daripada agenda perpaduan nasional. Jadi, adakah saya nak tanya kepada YB EXCO dalam mengkaji benda ini, adakah kita akan melihat sumbangan mereka kerana kita sebagai mana yang sedia maklum, ramai pelajar

lepasan UEC mereka selepas mendapat Sijil UEC mereka banyak menyumbang kepada negara dari segi ekonomi dan teknologi negara Malaysia. Adakah ini akan menjadi salah satu kriteria bahawa mereka tidak menyisihkan diri untuk perpaduan nasional kerana mereka banyak menyumbang kepada negara Malaysia.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan isu pengiktirafan ini, kita perlu satu, ialah melakukan kajian holistik berhubung Sijil Peperiksaan Bersama (UEC); yang kedua, kita perlu menyemak kokurikulum Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) terutama subjek teras seperti Bahas Melayu serta Sejarah; ketiga, kita akan mengambil kira perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; keempat, Akta Pendidikan 1996 (Akta 50) yang menyatakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara; yang kelima, mengkaji dan mengambil sudut pandang pelbagai pihak; dan yang keenam, iaitu memastikan perpaduan serta keharmonian rakyat diutamakan. Sekian.

Speaker

Ok, seterusnya untuk soalan berikut. Jemput Mahkota.

Tuan Muhamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 8.

Sejajar dengan dasar penjimatan dan perbelanjaan yang berhemah, adakah penglibatan pihak korporat dan dalam pembiayaan projek-projek komuniti seperti taman-taman permainan, pusat-pusat rekreasi tapak perniagaan dan lain-lain projek yang berada di bawah PBT dibenarkan dan adakah garis panduan terhadap kaedah ini?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Dan terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Mahkota. Yang Berhormat Tuan Speaker, tanggungjawab menyediakan kemudahan awam dan prasarana komuniti yang mencukupi termasuklah kemudahan-kemudahan rekreasi adalah menjadi salah satu teras utama pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Pihak korporat juga berperanan sebagai rakan strategik PBT dalam usaha-usaha mensejahterakan rakyat.

Sebagai contoh, di Majlis Perbandaran Muar, sumbangan yang disalurkan sama ada dalam bentuk pembiayaan kewangan atau mata benda adalah dibenarkan serta didokumenkan secara bertulis sama ada sebagai salah satu pra syarat kelulusan Kebenaran Merancang, pelan kerja tanah, jalan dan parit, atau pelan landskap atau selepas sesuatu pemajuan mendapat kelulusan, tertakluk kepada skala minimum pembangunan. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab awam ataupun dengan izin, social obligation, Corporat Social Responsibility (CSR) yang dikongsi bersama oleh syarikat dan dapat meringankan beban PBT dalam menyediakan kemudahan-kemudahan awam secara berkesan. Sumbangan CSR yang diterima termasuklah kemudahan-kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, bangku-bangku taman, pasu-pasu bunga untuk pengindahan bandar dan lampu-lampu jalan. Semua syarat ini terkandung dalam kertas kerja yang diangkat dan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC), diperakukan dalam Mesyuarat Penuh Majlis dan dimaklumkan secara bertulis kepada syarikat.

Speaker

Jemput Mahkota kalau ada tambahan.

Tuan Muhamad Said bin JonitAMANAH · PHMahkota

Yang Berhormat Tuan Speaker, dari segi pengecualian cukai, bolehkah korporat yang memberikan sumbangan kepada kerja-kerja yang sebegini diberikan pengecualian cukai?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan daripada Mahkota tadi adalah berkenaan pengecualian cukai. Sebenarnya, saya tidak pasti bahawa apakah cukai yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Mahkota tadi. Mungkin dia melibatkan bidang kuasa daripada kerajaan persekutuan. Bagi peringkat kerajaan tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan hanya berkuasa untuk mengutip cukai taksiran dan seperti yang saya sebut tadi, perkara ini adalah merupakan sumbangan secara ikhlas daripada pihak swasta yang berbentuk CSL, korporat syarikat, maka ianya tidak seharusnya datang secara bersyarat.

Speaker

Soalan seterusnya. Dijemput Sungai Balang.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat tuan Speaker. Soalan nombor 9.

Minta dinyatakan apakah kelainan perubahan daripada kerajaan mengenai Bas Muafakat Johor kepada Bas Harapan Johor.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan mengenai apakah kelainan daripada Bas Muafakat dengan Bas Harapan? Jadi, sebenarnya nama pun tak sama, macam kita lah ada 2 orang isteri, 1 nama Aishah satu nama Fatimah. Tapi operasinya lebih kurang sama, dan kita tidak membatalkan Bas Muafakat. Bas Muafakat yang ada kita jalankan, cuma kita dalam Bas Muafakat ni dalam proses kita penambahbaikan terutama dari segi laluan-laluannya. Laluan-laluannya ada yang tidak praktikal, kita mendapat maklum balas daripada pengguna, dan kadang-kadang ada laluannya, saya dapat maklumat, dulu maklumlah Bas Muafakat sebahagian dananya daripada majlis Kerajaan Tempatan. Yang ada tak peka Ahli Majlis minta lalu depan rumah dia, bas tu lalu juga depan rumah dia, maklumlah Majlis yang membayar. Jadi perkara-perkara yang begini kita akan membuat penambahbaikan dan kita sebenarnya Bas Harapan baru ada satu laluan sahaja. Itu pun...

Speaker

Sapa yang naik depan rumah dia tu?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Allahhuaklam lah kita bersangka baik lah. Mungkin ada fakta yang baik ya (dewan ketawa). Bas Harapan ni dilancarkan baru 1, hanya 1 laluan saja iaitu antara Pagoh ke Muar. Dan yang keduanya, yang kita akan lancarkan seterusnya adalah daripada Renggam ke Simpang Renggam soalan tadi daripada...

Speaker

Layang-Layang.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Daripada Layang-Layang tadi. Itu beza tapi dari segi dana, sama 30% daripada PBT, 70% daripada kerajaan ya. Terima kasih. Boleh menjawab, boleh?

Speaker

Sungai Balang jemput.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Tuan Speaker setiap bas mempunyai operator tersendiri mengikut daerah dan terdapat MOU yang termeterai. Handal Indah Sdn Bhd merupakan salah satu syarikat bas yang dikendalikan oleh pengangkutan awam Johor untuk perkhidmatan Bas Muafakat di sekitar kawasan Johor Bahru. Soalan tambahan berkenaan dengan Bas Harapan Johor adakah Pengangkutan Awam Johor masih memilih operator bas mengikut daerah atau melalui proses tender terbuka? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih soalan Yang Berhormat Speaker, sebenarnya kita dah buktikan yang baru ni kita tender di antara laluan daripada Renggam ke Simpang Renggam. Dua syarikat masuk, dan kita pilih satu yang termurah ya. Murah sikit daripada yang lama punya Bas Muafakat, sikit je tak banyaklah 10 Sen tapi bila sikit pun 10 sen pun kita kali dengan km tu, banyak juga. Kalau kali dengan tahun, macam tadilah, dulu pun kira saat dan kaki, kira saat, berjela-jela, kalau km tu. Jadi banyak juga apa, dia punya perubahan ya. Dan, sebenarnya bas ni dia Bas Muafakat saya semak balik laluan bukan satu syarikat monopoli satu daerah, tidak. Ada yang daerah dia bercampur. Ada sebuah daerah tu macam Handal Indah campur dengan Maju, tak ada masalah. Laluan dia berbeza, tapi dalam kawasan bandar yang sama pun ada. Tak ada masalah.

Speaker

Ya, Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Tuan Speaker, boleh tahu berapa jumlah kos yang ditanggungkan oleh PBT dan kerajaan negeri tahunan untuk Bas Harapan ini? Adakah ini berkesan, adakah ini berkesan, adakah kerajaan akan menimbang cara yang lain seperti grab share secara subsidi. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Untuk Bas Muafakat tahunan lebih kurang RM23.0 juta setahun yang saya maklumkan tadi 30% daripada dana PBT dan 70% daripada Kerajaan Tempatan. Tapi Bas Harapan Johor ni, memang dia punya tanggungan macam gitu, tapi kalau kerajaan negeri, kalau kata ni, PBT tak ada duit kita terpaksa juga absorb ya, dengan izin, untuk menanggung semua kos, terutama macam PBT-PBT yang kurang berkemampuan, Simpang Renggam, sampai cerita nak bayar elaun Ahli Majlis pun tak cukup, jadi kita kena bantu PBT-PBT yang tersebut. Jadi kita terpaksa suka tak suka, kerajaan kena tanggung 100% ya. Jadi, Bas Harapan yang ada satu laluan, dia punya pengiraan dia simple saja, RM3.90 yang Simpang Renggam ni, kali dengan km, kali berapa trip. Kalau sekarang ni yang kita cadangkan untuk laluan antara Renggam ke Simpang Renggam lebih kurang 6 trip, jadi kita itu perkiraannya. Jadi terlalu baru, terlalu sikit dan mudah kita kira yang Bas Muafakat ni dia, dia sama standard RM4.00 satu per km. Terima kasih.

Speaker

Ya,

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Memandangkan. Terima kasih Tuan Speaker,

Speaker

Ini kali pertama ni,

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Di Kawasan Batu Pahat satu kajian dibuat, setiap trip 2 hingga 4 penumpang sahaja, adakah kerajaan akan mengkaji semula mengenai laluan di Batu Pahat?

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Jawapan dia memang ya. (Dewan ketawa) jadi, saya ada statistik sebenarnya saya dah ada presentation daripada bila saya masuk daripada Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, Bas Muafakat dan Bas Harapan duduk di bawah badan yang sama. Ada laluan yang 5 orang je naik satu trip tempat saya pun lalu hospital pun sama juga laluan tak silap saya 105, saya perhati bas tengok, 5 orang yang naik. Yang ini kita akan kaji, kalau dia tidak praktikal, mungkin kita boleh cadangkan supaya menggunakan bas yang bersaiz kecil ya. Jadi itu cadangan kita. Terima kasih yang bertanya.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Jementah.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 10.

Senaraikan dengan secara terperinci semua kawasan-kawasan tadahan air mentah, empangan-empangan dan loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri Johor. Nyatakan jumlah bekalan (mld) setiap LRA dan jumlah permintaan bekalan air terawat kawasan domestik dan perindustrian di setiap daerah.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat dari Jementah,telah menanyakan senaraikan dengan secara terperinci semua kawasan-kawasan tadahan air mentah, empangan-empangan dan loji rawatan rawat air di seluruh negeri Johor. Nyatakan juga jumlah bekalan MLD setiap LRA dan jumlah permintaan bekalan air terawat kawasan domestik dan perindustrian di daerah. Jawapannya sangat panjang. Tapi saya cuba pendekkan ya.

Untuk makluman Yang Berhormat Jementah dan Ahli-ahli Dewan yang Mulia terdapat 18 kawasan tadahan air dan empangan di negeri Johor seperti berikut:-

1. Upper Layang 2. Lower layang 3. Pulai 1 4. Pulai 2 5. Pulai 3 6. Pontian 7. Linggui 8. Lebam 9. Seluyut 10. Chongor 11. Labung 12. Juaseh 13. Gunung Ledang 14. Ulu Kesang 15. Bekok 16. Sembrong 17. Machap 18. Kahang

Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, terdapat juga 44 buah loji rawatan air di negeri Johor dan saya cuba selesaikan dalam daerah, kalau baca semua mungkin lama sangat ni. Untuk daerah Segamat terdapat 8 buah loji rawatan air, untuk daerah Muar ada 5 buah, untuk daerah Tangkak ada 3 buah, untuk daerah Batu Pahat, 4 buah, untuk daerah Kluang, 5 buah, untuk daerah Kulai, 1 buah sahaja di kawasan saya Bukit Batu. Di daerah Johor Bahru ada 3 buah, di daerah Kota Tinggi, 10 buah dan di daerah Mersing, 5 buah. Keseluruhannya 44 loji rawatan air di negeri Johor.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, pengeluaran purata air bersih daripada 44 buah loji-loji rawatan air di bawah pentadbiran Syarikat Air Johor Ranhill SAJ di negeri Johor, pada masa kini ialah 1,816 juta liter sehari bagi menampung keperluan kira-kira 1,154,116 akaun pengguna yang direkodkan sehingga Jun 2018 yang melibatkan sektor domestik sebanyak 56% dan bukan domestik sebanyak 14%. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Jementah, saya akan bekalkan senarai yang lebih teliti kepada Yang Berhormat selepas sidang ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput Jementah soalan tambahan.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Terima kasih tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO, berkenaan dengan jawapan yang diberikan. Cuma Jementah ingin mengetahui berkenaan dengan kawasan tadahan air atau empangan-empangan yang kita selalu very concern, dengan izin, daripada unsur-unsur pencemaran. Ini sudah berapa kali pernah ada perbincangan sebelum Dewan yang lepas. Dan mengikut Akta Bekalan Air pindaan 2014, negeri Johor, sebenarnya kawasan-kawasan ini perlu dilindungi daripada unsur-unsur pencemaran. So, Jementah ingin mengetahui apakah status sebenarnya sekarang? Berkenaan dengan semua kawasan tadahan-tadahan ini supaya bekalan air mentah yang dibekalkan ini tidak yang akan masuk kepada loji rawatan air ini, tidak mengadakan banyak apa ni, pencemaran dan seterusnya boleh meningkatkan kos rawatan untuk bekalan air terawat. So, apakah statusnya sekarang? Untuk daripada pihak kerajaan dalam usaha untuk melindungi kawasan-kawasan tadahan air ini daripada pencemaran ini. Ini jawapan saya, terima kasih.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Saya rasa itu soalan saya. bukan jawapan saya. (Dewan ketawa). Yang Berhormat ni di dalam Dewan ni suka jawab, soal dan jawab sendiri (Dewan ketawa). Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, memang betul salah satu isu yang dihadapi oleh pihak kerajaan Johor dalam memastikan bekalan air terutamanya yang kita dikenal sebagai, dengan izin, service water, salah satu masalah kita hadapi adalah dari segi pencemaran. Memang sekiranya isu pencemaran ni boleh diatasi, kita memang mempunyai cukup air, bekalan air untuk kegunaan harian, kalaulah dilengkapi juga dengan sistem pengagihan yang sempurna, maka itu adalah satu-satu komitmen daripada pihak kerajaan sekarang untuk memastikan pencemaran tu kita cuba kurangkan, dan kalau boleh memanglah harapan juga, memang tak ada pencemaran.

Dan kerajaan mengambil berat isu ni dengan memberi lebih banyak fokus kepada penguatkuasaan yang selama ni mungkin kurang sedikit. Contohnya selepas pentadbiran ni mengambil alih kita telah menitik beratkan isu penguatkuasaan dan pihak BAKAJ dan JPS telah diarahkan untuk memberi lebih banyak prihatian kepada isu-isu ini dan saya memberi komitmen kepada Yang Berhormat Jementah, dan semua Ahli-Ahli dalam Dewan ini, kerajaan Johor sekarang ni kita komited untuk mengurangkan pencemaran air dan kalaulah sesiapa Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, ada-ada isu mengenai pencemaran sungai ataupun sumber air kita ada empangan, ada pencerobohan saya mengalu-alukan untuk menghubungi saya ataupun EXCO Alam Sekitar. Sekian, terima kasih.

Speaker

Alhamdulillah kita setakat ni dah dapat 10 soalan lisan. Lebih baik dari semalam, 9. Dapat 10, insya-Allah esok kita akan sambung lagi. Jadi sekarang dah pukul 11.00 saya tangguhkan Persidangan pagi ini sehingga pukul 11.20 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.

YB Tuan Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Bismillahirrahmaanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan ini disambung sekarang. Penggulungan YB-YB, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa. Kita ada 9 EXCO yang akan menjawab, bermula dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Ekonomi Kreatif sehinggalah ke Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar. Bagi yang mempunyai soalan-soalan yang sedikit, ambillah masa sedikit, sedikit sahaja, yang mempunyai soalan-soalan

yang banyak ambillah masa yang lebih sedikit, tapi jangan terlalu banyaklah. Jadi kita kira sampai petang ni pukul 5 selesai semuanya penggulungan ini ya. Jadi, pertama saya persilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif untuk menggulung. Silakan.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan untuk menjunjung setinggi-tinggi terima kasih atas titah DiRaja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor bagi penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Speaker, saya sangat berbesar hati kerana buat pertama kalinya saya diberikan kesempatan dan tanggungjawab untuk memikul amanah bagi pihak kerajaan negeri yang bertuah ini. Sebagai individu yang pernah berada dalam kedudukan pembangkang satu ketika dahulu, tentulah jawapan kerajaan apatah lagi dalam Dewan yang semulia ini adalah sangat penting bagi kami ketika itu untuk mengetahui dasar dan arah tuju kerajaan. Oleh yang demikian, apabila saya melihat minat yang begitu tinggi yang dizahirkan oleh pembangkang pada kali ini terhadap dasar kerajaan yang baru, maka saya berasa amat berbesar hati. Pada hemat saya, jelas sekali bahawa Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu bukan sahaja tentang kejayaan kuasa rakyat menurunkan kerajaan yang telah berdiri selama lebih setengah abad, malah pada masa yang sama sebenarnya ia adalah satu proses pendidikan kepada UMNO dan Barisan Nasional yang dahulunya dilihat seakan-akan berasa tidak mungkin mereka akan jatuh. Kini, saya amat senang dan begitu lega sekali apabila pembangkang juga mula menyebut tentang perlunya kuasa semak imbang, kebebasan bersuara, ketelusan pentadbiran, integriti kerajaan, malah sangat prihatin dengan manifesto kerajaan. Ini adalah perkembangan yang wajar kita raikan bersama kerana kita harus keluar daripada politik komunal sempit dan politik propaganda murahan serta beralih kepada politik dasar dan juga politik institusi.

Yang Berhormat Speaker, kita sangat faham akan keperluan wujudnya pembangkang yang kukuh, pembangkang yang kuat, pembangkang yang efektif. Berdasarkan pengalaman kami satu masa dahulu yang kami menderita sebagai pembangkang, dilayan dan diperlakukan oleh kepimpinan kerajaan yang lama. Kami tahu betapa payahnya untuk menjadi badan semak imbang yang berkesan, tanpa ada peruntukan yang khusus, tanpa ada kemudahan yang sewajarnya diberikan. Justeru, pengalaman ini menjadikan kami lebih manusiawi dan lebih menjunjung semangat demokrasi untuk memastikan pengalaman buruk kami dahulu tidak dialami oleh pembangkang pada hari ini. Meskipun ada suara-suara yang berkehendakkan agar kami di pihak sebelah sini melayan mereka yang berada di sebelah sana sebagaimana kami dilayan satu masa dahulu. Bukan atas dasar dendam, tetapi sebagai pengajaran. Namun kami insaf, kerajaan yang baik hanya dapat dicapai dengan adanya pembangkang yang efektif. Mengimbau sedikit pengalaman lalu jika boleh, saya dan rakan-rakan sebagai pembangkang sebelum ini sering kali kami ini dilayan secara tidak adil malah diperlekeh kadang kala oleh kepimpinan kerajaan terdahulu. Namun saya bertekad bahawa semua ini akan berhenti di sini. Saya tidak rela kerajaan baru ini bersikap sedemikian rupa kepada pembangkang seperti mana pembangkang memimpin kerajaan satu ketika dahulu. Kita faham bahawa harga diri setiap insan perlulah kita angkat dan kita muliakan. Inilah prinsip-prinsip demokrasi yang harus kita junjung.

Yang Berhormat Speaker, dalam kesempatan sesi penggulungan ini saya ingin mengambil ruang untuk mengutarakan atau memberi respons beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini sepanjang sidang berjalan. Antaranya berkaitan Dasar Pandang ke Timur. Dasar Pandang Ke Timur ini adalah cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diisytiharkan pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan The Fifth Joint Annual Conference of Malaysia-Japan Economic Association di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Seperti yang telah diketahui umum juga, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah melawat negara Jepun 2 kali dalam tempoh tidak sampai 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya. Sehubungan dengan itu, kita dapat melihat hubungan baik antara

Perdana Menteri Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Jepun tidak dapat lagi kita nafikan pada kali ini.

Yang Berhormat Speaker, Dasar Pandang ke Timur merupakan satu cara Malaysia menghadapi cabaran ekonomi baru. Jepun telah membuktikan model pembangunannya dengan sumber yang terbatas namun bangkit, bingkas daripada kemusnahan perang dunia kedua satu ketika dahulu. Kalau kita ingat, bagaimana peristiwa pengeboman Nagasaki dan Hiroshima. Namun dalam kesesakan ini, Jepun bangkit, Jepun bingkas dan bersaing dalam ekonomi dunia hanya dalam tempoh 1 generasi. Matlamat utama perlaksanaan dasar ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai ketimuran yang positif dalam pentadbiran negara. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan masyarakat Jepun yang kita selalu dengar mempunyai sikap yang positif dan nilai-nilai yang baik seperti rajin, ketekunan, kegigihan serta kuat bekerja. Jika amalan ini diamalkan oleh penjawat awam atau rakyat Malaysia keseluruhannya, maka secara tidak langsung ini akan memberi impak yang positif dari segi ekonomi dan juga sahsiah masyarakat dalam membangunkan sesebuah negara.

Selain itu Dasar Pandang ke Timur juga mampu untuk menghapuskan khurafat pemikiran rakyat Malaysia yang terlalu memandang tinggi kepada dunia barat yang kononnya hanya mereka di barat yang lebih maju dari segi ekonomi, pendidikan dan penguasaan teknologi. Hal ini menjadikan rakyat Malaysia tidak bermotivasi kerana mereka beranggapan bahawa amat mustahil buat negara yang berada di Timur untuk menjadi sebuah negara maju. Kita juga maklum bahawa melalui pemindahan dan perkongsian teknologi serta kemahiran dari negara Jepun serta Korea secara tidak langsung memberikan manfaat kepada rakyat di negara kita. Jika kita meneliti semula niat di sebalik Dasar Pandang ke Timur, banyak inti pati yang boleh kita garapi termasuklah dari aspek pembangunan, keusahawanan iaitu portfolio yang sedang saya galas pada ketika ini. Jadi, jika ditanya adakah kerajaan negeri berhasrat akan menjadikan semangat dasar pandang ke timur ini sebagai momentum baru, bagi melonjakkan keberdayaan usahawan-usahawan kita di negeri Johor ini, maka jawapan saya pastilah ya sudah tentu sekali.

Yang Berhormat Speaker, di bawah tema pembangunan usahawan melibatkan Malaysia-Jepun juga, sengaja saya sebutkan di dalam Dewan yang mulia pada hari ini, berhubung industri halal Jepun untuk perhatian kita semua. Industri halal di Jepun khususnya melibatkan produk makanan semakin mendapat sambutan. Terutamanya melalui aktiviti pelancongan melibatkan negara-negara timur tengah dan negara-negara Islam yang lain. Pelancong muslim misalnya yang memilih Jepun sebagai destinasi untuk pelancongan juga tidaklah asing lagi pada hari ini. Satu perkara yang harus kita sedar ialah Tokyo bakal menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik pada tahun 2020. Justeru, para usahawan di negeri Johor seharusnya merebut peluang keemasan ini untuk meneroka pasaran di Jepun.

Ingin saya nyatakan di sini, di Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri menerusi Portfolio Pembangunan Keusahawanan akan sentiasa mencari ruang dan peluang bagi membangunkan usahawan di negeri ini untuk meneroka industri halal di Jepun.

Yang Berhormat Speaker, merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Tenang berkenaan usahawan pengeluar makanan. Suka untuk saya memberi respons. Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli-Ahli Dewan, laporan Agris GeoPortal Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan seramai 1,655 orang usahawan berhasil. Usahawan berhasil ini ialah usahawan yang dia masih aktif perniagaannya sehingga ke saat ini. Usahawan berhasil telah dilahirkan seramai 1,655 orang oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor yang mana jumlah purata pendapatan bersih mereka adalah sebanyak RM74.5 juta setahun. Laporan Agris 2017 juga menunjukkan bahawa Johor kekal sebagai peneraju Industri Kecil Sederhana, diikuti negeri yang kedua ialah negeri Selangor. Hal ini adalah disebabkan galakan dan sokongan padu kerajaan negeri dalam aspek pembangunan keusahawanan ini. Sebagai contoh kerajaan negeri melalui Program Galakan Usahawan (PGU) di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor terus membantu usahawan dan dalam bidang makanan dengan pemberian geran, bantuan mesin dan kelengkapan bengkel untuk membolehkan usahawan Johor dapat mengembangkan dan menaik taraf kualiti perniagaan

mereka. Hal ini dengan jelas menggambarkan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan jumlah usahawan pengeluar makanan di negeri Johor. Selain itu sebarang cadangan untuk meningkatkan jumlah usahawan-usahawan pengeluaran makanan dan sebarang nilai tambah akan dibincangkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan yang sewajarnya.

Yang Berhormat Speaker, di kesempatan ini juga, suka saya untuk menyentuh berkaitan ekonomi kreatif. Ekonomi kreatif ini adalah satu portfolio tambahan ataupun portfolio yang baru kepada portfolio yang ada dalam kerajaan negeri sebelum ini. Maka sudah tentu fokus baharu ini bertujuan untuk memberi tumpuan-tumpuan baru juga. Sebagaimana sifat ekonomi yang saling berhubung dan berkaitan atau cross cutting, dengan izin, sudah pasti pembangunan ekonomi kreatif akan memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor-sektor lain termasuk pelancongan, pembangunan komuniti dan pastinya PKS.

Yang Berhormat Speaker, Malaysia Baru termasuklah di Johor ini komited kepada tata kelola yang bersih, cekap dan telus. Peranan kerajaan adalah jelas sebagai pemudah cara dan memastikan wujudnya persekitaran yang kondusif untuk perkembangan perniagaan termasuklah dalam industri ekonomi kreatif. Dengan meletakkan satu portfolio khusus untuk ekonomi kreatif telah memberikan isyarat yang jelas kepada pasaran dan rakyat bahawa Johor sangat bersungguh-sungguh untuk memanfaatkan sektor ini. Selain daripada tawaran geran, start up, latihan, infrastruktur, portfolio saya juga dalam proses mengkaji subsektor ekonomi kreatif yang boleh dikembangkan bagi tujuan-tujuan antaranya memanfaatkan potensi sedia ada Johor dan tidak hanya berfokus kepada multimedia, filem, iklan dan gaming semata-mata tetapi subsektor lain seperti galeri, archive, dengan izin, taman, gastronomi dan sebagainya.

Yang kedua, hal ini bagi memastikan penerima manfaat dan pemain industri ekonomi kreatif ini dapat diperluaskan lagi dan dapat dirangkumkan dalam satu pelan tindakan yang lebih komprehensif. Kita tidak mahu apabila merujuk kepada ekonomi kreatif Johor sahaja kita hanya mampu melihat satu sudut sahaja. Contohnya kita hanya mampu menyebut Pinewood Studio sebagai contoh, yang sangat spesifik peranannya. Sedangkan kita mahu ekonomi kreatif ini menjangkaui lebih banyak lapisan masyarakat yang merangkumi pelbagai sektor ekonomi, budaya, bakat, rekreasi dan warisan-warisan lain yang ada di dalam negeri Johor. Saya juga ingin menyatakan di Dewan yang mulia ini bahawa apabila kerajaan membangunkan sesuatu dasar yang baru, kami bukan semata-mata ingin dilihat berbeza dari kerajaan yang sebelumnya, tetapi kita juga berusaha untuk meneroka bidang-bidang yang belum dimanfaatkan, bidang-bidang yang tidak dimanfaatkan lagi potensinya sebelum ini untuk melonjakkan kedudukan ekonomi Johor sebagai enjin utama pembangunan negara.

Yang Berhormat Speaker, ya, kita tak boleh nafikan kerajaan terdahulu telah melaksanakan tanggungjawabnya dan terdapat kejayaan-kejayaan yang tidak akan, serta tidak perlu untuk kita nafikan. Tetapi melalui keputusan pilihan raya baru-baru ini, jelas menunjukkan bahawa rakyat merasakan prestasi sedia ada ini tidak mencukupi dan berkehendakkan kepada penambahbaikan serta pelaksana yang baru. Justeru ekonomi kreatif ini adalah contoh jelas bahawa kerajaan bukan hanya mahu dilihat berbeza tetapi ingin mencapai juga sesuatu yang lebih baik. Sektor ekonomi kreatif umpamanya membentuk 3% daripada GDP dunia pada tahun lalu dan Asia Pasifik merupakan pasaran terbesar bagi sektor ini dengan menjana pendapatan sebanyak USD743 bilion dan mencipta 12.7 juta peluang-peluang pekerjaan. Menyedari hakikat ini, kerajaan mahu memperluas dan mempelbagaikan sektor ekonomi di negeri ini agar tidak hanya bergantung kepada sektor tertentu semata-mata. Pada masa yang sama, kerajaan juga tidak mahu mengambil keputusan yang terburu-buru tanpa ada kefahaman yang mendalam terhadap sektor yang ingin dikembangkan ini. Terdapat dua hal utama yang harus dipertimbangkan dalam membangunkan sebarang dasar baru. Yang pertama, mengelakkan pertindihan apatah lagi pertentangan dengan dasar kerajaan yang telah sedia ada, yang kedua, memastikan satu usaha komprehensif, yang bukan bersifat program-program runcit-runcitan yang sukar di nilai dan sukar dijejaki impaknya.

Yang Berhormat Speaker, kerajaan berfikir, adalah perlu untuk satu kajian yang menyeluruh dijalankan bagi membangunkan satu pelan dengan apa pelan yang kita namakan sebagai Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Negeri Johor. Pelan yang pastinya bukan hanya menyalin pelan pembangunan sedia ada, tetapi pelan pembangunan baru yang inklusif dan komprehensif. Kajian ini adalah penting, bukan sahaja untuk mengenal pasti sektor ekonomi kreatif, baik dari segi pemain industri, komuniti mahupun institusi yang berkaitan, tetapi juga penting untuk mencari interaksi antara kumpulan-kumpulan yang ada ini. Kajian ini juga akan memberi feasibility, dengan izin kepada sektor yang ingin ditumpukan dengan mengenal pasti nilai dan pembentukan ekspresi budaya serta sumbangannya kepada ekonomi di dalam negeri ini. Di samping itu, kajian ini juga akan menyediakan maklumat berguna dalam memformulasi dasar dan program yang lebih bersasar serta menggalakkan industri dan komuniti untuk menyertai inisiatif ini iaitu inisiatif untuk mengembangkan industri ekonomi kreatif. Kajian sebegini juga adalah penting untuk menilai dasar serta program sedia ada dari aspek keberkesanan dan kecekapannya.

Yang Berhormat Speaker, kita tidak mahu hanya mengaburi rakyat dengan angka-angka peruntukan kepada mereka semata-mata, yang rupa-rupanya kadangkala belum tentu dapat dirasai nikmatnya oleh kumpulan sasar. Maka institusi penyelidikan dasar awam yang berwibawa akan di beri tanggungjawab dalam menyediakan kerangka Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Negeri Johor ini. Institusi-institusi ini nanti bukan sahaja memberikan input dasar, tetapi juga dimensi akademik kepada kajian ini. Saya sedang mempertimbangkan beberapa institusi penyelidikan dasar di beberapa buah universiti untuk dilibatkan dalam hal yang saya nyatakan sebentar tadi.

Yang Berhormat Speaker, buat akhirnya, sebagai penutup, saya menyeru agar di kesempatan ini marilah kita bersama-sama membina politik baru yang lebih bertamadun dan lebih profesional. Saya menyinggung hasrat yang diutarakan oleh Yang Berhormat Benut, tak ada ya sekarang ni, yang meminta agar diberikan pengiktirafan yang lebih kepada pihak pembangkang, antaranya dalam memainkan peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, atau Public Accounts Committee (PAC), dengan izin. Dan saya begitu yakin kita di peringkat kerajaan pastinya boleh mempertimbangkan perkara ini. Saya cukup yakin kita boleh mempertimbangkan perkara ini, cuma saya mencadangkan, saya mencadangkan agar Yang Berhormat Benut terlebih dahulu, dan juga yang berada di sebelah sana, haruslah menyatakan kesediaan untuk menyemak dan membuka siasatan awam atas segala skandal yang pernah berlaku sebelum ini sepertimana skandal perumahan yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2017 yang lalu. Jika bersedia, maka kita dapat melihat ketelusannya. Sungguhpun kes tersebut telah di bawa ke Mahkamah, pihak kerajaan dengan saranan PAC boleh sahaja menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti punca-punca kelemahan sistem ini hingga menyebabkan skandal seperti ini berlaku di negeri Johor ini. Langkah ini pastinya jika berjaya dilaksanakan, akan menjadi tauladan kepada Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, dan yang paling mustahak pada saya, kita dapat menghalang sebarang kemungkinan hal seperti ini berulang lagi pada masa hadapan. Ketahuilah bahawa agenda reformasi ini adalah amat penting. Ia bukan terhenti sekadar pada cogan kata semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah, proses reformasi ini harus dilaksanakan dengan bijak dan berhemah agar semua pihak khususnya rakyat dapat memahami bagaimana proses perubahan ini dapat memberi kesan yang positif buat mereka. Jangan kita terburu-buru mengikut nafsu, sebaliknya bertindaklah dengan akal waras dan praktikal sebagaimana titah peringatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Speaker, untuk akhirnya, sebelum saya sudahi ucapan saya, saya ingin membacakan bingkisan pantun, dari Paloh ke Iskandar Puteri, singgah ke kota membeli emas, sudah lama kita memerhati, sekarang masa untuk menjalankan tugas. Emas dibeli di Kota Tinggi, buat berhias di hari raya, harapan rakyat sudah diberi, dengan izinnya terlaksana jua. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian untuk menggulung. Silakan.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Bismillahirahmaanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Harapan. Yang Berhormat Tuan Speaker. Terlebih dahulu izinkan saya mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-14 yang berlangsung pada 9 Ogos 2018 yang lalu. Seterusnya saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, dan juga Timbalan Speaker di atas amanah yang telah diberikan dan terima kasih kerana telah memberi ruang kepada saya di dalam sesi penggulungan pada pagi ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan serta teguran khususnya dalam hal yang berkaitan dengan portfolio kesihatan, alam sekitar dan juga pertanian sepanjang sesi perbahasan yang telah dijalankan sehingga semalam.

Yang Berhormat Tuan Speaker, adalah menjadi harapan kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri Johor yang tercinta ini dengan penuh istiqamah serta memastikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan dan keperluan rakyat diberikan keutamaan. Usaha ini perlu dalam mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Johor dalam merencanakan hala tuju negeri Johor yang makmur dan lestari serta bersikap adil kepada rakyat yang di pimpin. Isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan, alam sekitar mahupun pertanian akan ditangani dan diperhalusi dengan sebaik mungkin supaya akhirnya nanti ianya akan menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan akan terus berkekalan untuk generasi pada masa hadapan. Untuk itu, kerjasama antara jabatan serta agensi yang berkaitan akan dipertingkatkan untuk memastikan segala bentuk tindakan penyelesaian, perkhidmatan mahupun bantuan dapat dikecapi serta dimanfaatkan oleh rakyat negeri Johor ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan meneruskan usaha membantu penduduk di negeri Johor untuk mencapai dan mengekalkan taraf kesihatan yang optima setaraf dengan kesihatan di negara maju. Dengan keluasan 19,102 kmp, negeri Johor mempunyai seramai 3.823 juta penduduk di seluruh daerah iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Muar, Segamat dan Tangkak. Johor pesat membangun dengan peratus peningkatan KDNK sebanyak 5.7% pada tahun 2016. Struktur umur rakyat di negeri Johor di dominasi oleh mereka yang berumur dari 15hingga 64 tahun sebanyak 69.6%, manakala kanak-kanak yang berumur 0 hingga 14 tahun dianggarkan sebanyak 23.6% dan warga emas sekitar 6.8% dengan jangka hayat rakyat Johor bagi lelaki ialah 72.2 tahun dan bagi perempuan 77.2 tahun. Maknanya di sini rakyat, kaum perempuan mempunyai umur yang lebih panjang dibandingkan kaum lelaki.

Perkhidmatan perubatan dan kesihatan awam di negeri Johor disampaikan melalui 12 Hospital, 10 Pejabat Kesihatan, 10 Pejabat Pergigian Daerah, 98 Klinik Kesihatan, 261 Klinik Desa, 36 Klinik Rakyat, 24 Klinik Pergigian Pakar, 118 Klinik Pergigian dan 4 Klinik Pergigian Bergerak di seluruh negeri. Terdapat sebuah hospital bagi setiap daerah di negeri Johor manakala daerah Johor Bahru disediakan dengan 3 buah hospital iaitu Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Sultan Ismail Johor Bahru yang merupakan hospital regional wilayah selatan untuk perkhidmatan onkologi dan radioterapi. Dan Hospital Permai untuk menyediakan kesihatan dan rawatan sakit mental. Selain dari semua fasiliti kesihatan awam di bawah KKM, negeri Johor juga mempunyai 18 hospital swasta, 7 hospital swasta baru sedang dalam pembinaan, 988 klinik swasta dan 254 klinik pergigian swasta. Negeri Johor mempunyai 12 pintu masuk antarabangsa, separuh daripada pintu masuk antarabangsa tersebut berada di Johor Bahru. Ini menjadikan daerah Johor Bahru sebagai daerah yang mempunyai bilangan pintu masuk antarabangsa terbanyak di Malaysia. Pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar merupakan laluan darat yang paling sibuk di Asia Tenggara. Manakala Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas merupakan 2 pelabuhan yang pesat membangun untuk perkembangan perdagangan antarabangsa.

Kesibukan ini menyebabkan Johor Bahru sangat berisiko untuk kemasukan penyakit berjangkit. Bagi memantau perkara ini, pencegahan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di ke semua pintu masuk di negeri Johor.

Terdapat 25 projek pembangunan kesihatan di negeri Johor yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak 6 projek telah disiapkan, 8 projek dalam pelaksanaan dan 11 lagi akan dilaksanakan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.18 bilion. Antara projek-projek yang telah disiapkan melalui RMK Ke-11 di negeri Johor adalah bangunan tambahan bagi dewan bedah, klinik pakar, wad kelas 1 dan 2 di Hospital Mersing, Kolej Jururawat Parit Raja di Batu Pahat, Klinik Kesihatan jenis 3 dengan kuarters di Yong Peng, Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi dan Klinik Kesihatan jenis 3 dengan kuarters di Pekan Nanas. Kesemua projek-projek tersebut telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk menambah baik infrastruktur kesihatan di kawasan-kawasan tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga akan memastikan projek-projek yang telah dirancang dapat diteruskan oleh pihak Kementerian bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di negeri Johor. Antara perkara-perkara yang akan diberikan tumpuan adalah sepertimana berikut; pembinaan hospital baru dan bangunan tambahan seperti di pembinaan hospital Pasir Gudang, pembinaan Hospital HSA 2 yang akan di bangun di kawasan berdekatan Hospital Permai, tambahan blok di Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, bangunan tambahan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, ACC di HSA JB dan pembinaan ruang parkir kenderaan di HSA, HSI, HPSF dan Hospital Sultanah Nora di Batu Pahat, naik taraf struktur sistem, naik taraf ICU di HSA JB, penggantian Air Handing Unit di HSAJB, menaik taraf kemudahan modular OT di HPSF Muar, menaik taraf Hospital Information System, Hospital Sultan Ismail JB, penggantian pembelian aset, peralatan perubatan yang telah berusia di HSA JB, HSI JB dan pembinaan baru dan naik taraf bangunan kesihatan seperti KK Taman Cendana, KK Bandar Kota Tinggi, KK Bandar Kluang, KK Masai, KK Rengit, KK Paya Emas, KK Mersing Kanan, pindahan atau perpindahan lokasi Pejabat Kesihatan Daerah. Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru naik taraf, naik taraf Klinik Kesihatan, naik taraf Klinik Desa, naik taraf bagi mewujudkan Klinik Tibi, naik taraf stor penyimpanan bahan kimia, naik taraf kuarters anggota keselamatan Kesihatan di Kuarters KK Ayer Baloi, KK Bandar Tenggara, KK Bagan, KK Paloh, KD Ulu Cendong, KK Bekok. Jabatan Kesihatan Negeri Johor dari semasa ke semasa akan memastikan keperluan bagi pengisian perjawatan di bahagian-bahagian yang tertentu dapat dilaksanakan bagi melancarkan perjalanan operasi dan dalam masa sama dapat memberikan perkhidmatan yang telus dan cekap kepada orang awam.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya agak tertarik dengan cadangan YB dari Senggarang supaya rakyat Johor mempunyai berat badan kurang daripada 80 kg. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penekanan di dalam program pencegahan penyakit tidak berjangkit, NCD merupakan salah satu fokus utama kerajaan di dalam memastikan kesihatan rakyat Johor. Penyakit-penyakit NCD ini ialah seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan strok.

Speaker

YB, kita letak timbanglah depan Dewan.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Insya-Allah, insya-Allah. Fokus ini adalah bertujuan menggalakkan amalan hidup yang sihat di kalangan penduduk. Memastikan kesihatan rakyat Johor berada di tahap optimum seterusnya mengurangkan risiko penyakit NCD. Oleh itu, Program Gaya Hidup Sihat digalakkan di semua lapisan masyarakat termasuklah di jabatan, agensi kerajaan dan swasta seperti program KOSPEN Plus dan juga program Kesihatan Komuniti. Saya juga cukup berterima kasih kepada MAIJ kerana telah memberi idea, insya-Allah akan diadakan program untuk pengawalan NCD di semua masjid-masjid yang terpilih, insya-Allah.

Amalan gaya sihat meliputi aspek pemakanan sihat, gaya hidup aktif, amalan tidak merokok dan amalan minda sihat. Konsep makanan untuk kesihatan menekankan pengambilan mengikut keperluan zat makanan, utamakan memakan sayur dan buah-buahan. Jangan, kalau kita rutin seperti biasa, kita queue di nasi tapi sebetulnya itu satu konsep yang salah. Kalau kita queue, kita kena queue di sayur dan di buah-buahan. Last sekali, baru ambil nasi. Dan, makanlah dengan cara yang teratur dan betul. Pengiraan kalori makanan dan pengiraan indeks jisim tubuh atau body mass indeks dapat membantu untuk mengetahui sama ada pengambilan kalori seimbang dengan keperluan. Di samping itu juga konsep pinggan sihat, saya tidak pasti Ahli-Ahli yang tuan-tuan dan puan-puan yang ada di sini, faham tak konsep pinggan sihat? Konsep pinggan sihat ialah setengah suku,suku, half, quarter, quarter, iaitu di mana, suku kita ambil nasi, suku kita ambil sayur dan half lagi kita ambil protein iaitu ikan ataupun daging. Pengambilan sayur-sayuran dan serat digalakkan manakala kurangkanlah pengambilan lemak, gula dan garam. Melalui pemakanan sihat, boleh mengurangkan risiko berlebihan berat badan, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan lain-lain. Gaya hidup aktif melalui aktiviti senam secara berkala, 3 kali seminggu sekurang-kurangnya 20 minit setiap senaman. 1, 2, 3, 0, maknanya satu kali seminggu, selama 20 minit. Contoh aktiviti fizikal yang bersesuaian di kawasan tempat kerja yang terhad seperti pingpong, senamrobik, feet ball sesuai dilakukan ataupun yang paling mudah kita berjalanlah menaiki tangga, jika kita ke pejabat. Contohnya, Pejabat YB EXCO sayalah. (Dewan ketawa). Saya di tingkat 4, di tingkat 3 dan MB lah, MB tingkat 4 digalakkan untuk jalan naik tangga, pergi dan balik, insya-Allah. Ok. Aktiviti berjalan kaki 10,000 langkah setiap hari juga digalakkan. Melalui aktiviti fizikal dapat meningkatkan kecerdasan dan meningkatkan daya konsentrasi seseorang. Memandang isu ini juga melibatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat di Persidangan Dewan Negeri, izinkan saya untuk mencadangkan agar pihak Dewan Negeri bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi melaksanakan Persidangan di dalam suasana sihat dan mengamalkan hidup sihat semasa Persidangan ini, termasuklah…

Speaker

Selama ini tak sihat ke Yang Berhormat? Selama ini tak sihat ke?

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Kurang sihat Tuan. Penghidangan hidangan yang sihat, melebihkan minum air kosong, mengasingkan gula dan susu bagi minuman panas, penyediaan sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengendali makanan bagi Persidangan ini perlu diberi latihan tata cara penyediaan makanan yang sihat dan selamat ketika mesyuarat termasuklah pengiraan kalori makanan yang diperlukan. Aktiviti senaman ringan di antara selang waktu mesyuarat, senaman regangan juga sesuai dilakukan bagi untuk mengurangkan kepenatan atau penyakit bahagian belakang. Pemimpin-pemimpin masyarakat juga harus menjadi contoh bagi mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mempunyai BMI yang ideal. Pengiraan berat badan yang paling mudah adalah, tinggi badan dikurangkan 100, contohnya bagi sayalah. Saya, 180, kurangkan 100, jadi berat badan saya 80+- 5%, sepatutnya berat saya mestilah di antara 76 hingga 84 dan tapi yang bagus, paling baik ialah 76. Jadi Tuan-Tuan Yang Berhormat boleh kira sendiri berapakah berat badan ideal tuan-tuan dan puan-puan secara yang paling mudah.

Berkenaan isu komuniti sihat yang dibangkitkan oleh YB dari Pasir Raja. Pihak kerajaan tidak pernah melupakan kepentingan kesihatan masyarakat FELDA. Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan kerajaan untuk masyarakat FELDA tidaklah kurang berbanding dengan masyarakat-masyarakat lain sama ada dari segi kualiti ataupun kuantiti. Klinik-klinik kesihatan ada di dalam lokaliti FELDA sendiri atau berdekatan dengan lokaliti FELDA telah memberi perkhidmatan rawatan untuk pesakit luar dan penjagaan kesihatan ibu dan anak sebagai perkhidmatan khas. Selain itu, program-program khusus sebagai program kesihatan warga emas, Program Penjagaan Domisiliari, bagi perawatan di rumah turut diadakan juga melibatkan penduduk-penduduk FELDA. Dalam pencegahan-pencegahan penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat termasuk masyarakat FELDA pula, program KOSPEN telah diwujudkan semenjak tahun 2013. Sehingga kini terdapat 29 lokaliti masyarakat FELDA seluruh negeri Johor telah mengaktifkan program KOSPEN di FELDA.

Dalam pencegahan penyakit berkaitan dengan persekitaran di FELDA, pihak kerajaan juga telah mengambil langkah penilaian awal bagi memenuhi keperluan Program Imunisasi Malaria melibatkan seluruh kawasan di Johor termasuk di FELDA.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat dari Senai juga telah menyatakan tentang kerisauan berhubung dengan isu penjualan makanan tidak sihat di sekolah. Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menjalankan aktiviti pemantauan ke atas penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah. Walau bagaimanapun, tiada sebarang penguatkuasaan dijalankan. Pihak jabatan telah menjalankan aktiviti promosi, khidmat nasihat dan bimbingan berterusan berkaitan pemakanan sihat diberikan kepada murid-murid. Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), pengusaha kantin dan pihak pengurusan hendaklah dilibatkan sama.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman YB dari Panti. Buat masa ini bayaran, fee RM1.00 masih berkuat kuasa terutamanya untuk kemasukan melalui Jabatan Kecemasan dan Trauma. Bayaran menggunakan insurans hanyalah terpakai kepada pekerja-pekerja asing sahaja. Semua pungutan bayaran di fasiliti kesihatan kerajaan adalah seperti mana yang terkandung dalam Akta Fi dan Perintah Fi yang berkuat kuasa. Tiada arahan dan penguatkuasaan insurans baru buat masa ini. Pelbagai pendapat dan cadangan masih di peringkat nilaian atau cadangan sahaja.

Bagi maklumat YB dari Parit Raja, permohonan projek pembinaan KK3 Parit Raja telah disenaraikan di dalam Projek RMK Ke-11 pada tahun 2015. Namun begitu, permohonan tersebut tidak mendapat kelulusan dalam RMK 11, Rolling Plan Pertama. Projek yang diluluskan hanyalah pembinaan KK4 Rengit. Walau bagaimanapun, masih terdapat facilities yang berhampiran dengan KK Parit Raja yang beroperasi di mana terdapat 4 buat klinik Desa di dalam kawasan tersebut.

Yang Berhormat dari Pekan Nenas juga ada membangkitkan berkenaan Hospital Pontian. Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum akan keperluan dan sedang merancang untuk membangunkan semula Hospital Pontian di tapak hospital sedia ada yang dilaksanakan secara berperingkat. Lanjutan itu, permohonan untuk membina blok baru bagi menempatkan wad-wad di klinik pakar di angkat dalam Rolling Plan Ke-2, Rancangan Malaysia Ke-11. Walau bagaimanapun, permohonan tersebut tidak diluluskan oleh agensi pusat. Bagi tujuan keselesaan pesakit dan kaki tangan hospital, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyalurkan peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja ubah suai, naik taraf dan pembaikan facilities di Hospital Pontian. Antaranya ialah, projek naik taraf sistem gas perubatan Hospital Pontian yang telah selesai proses perolehan. Selain itu, terdapat beberapa peruntukan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Hospital Pontian bertujuan menjalankan kerja-kerja pembaikan berjumlah RM1,692,000.00 dari tahun 2014 hingga 2018. Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menyalurkan peruntukan bagi perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan bagi tujuan pembelian peralatan dan kelengkapan perubatan di Hospital Pontian berjumlah RM82,000.00 dari tahun 2014 hingga 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, memandangkan sekarang penyakit HFMD dan penyakit denggi yang mewabak di Johor. Sebetulnya kedua-dua penyakit ini bukanlah terletak di bahu Kementerian Kesihatan sahaja. Di sini perlunya memainkan peranan semua agensi-agensi yang terlibat terutamanya pihak-pihak PBT untuk memastikan kesihatan di kawasan masing-masing adalah terjaga. Adalah sangat zalim jika kita sentiasa menyalahkan atau menuding jari ke pihak Kesihatan di atas peningkatan kes-kes penyakit HFMD dan penyakit denggi. Sebetulnya kedua-dua penyakit ini dapat dicegah jika PBT dan semua agensi terkait menjaga kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kedua-dua penyakit ini merupakan penyakit virus. Penyakit virus ini tak ada ubat, tapi kedua-duanya insya-Allah boleh baik dengan segera jika mendapat rawatan dengan segera.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam memastikan…

Speaker

Yang Berhormat telah menggunakan 21 minit.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Banyak lagi ini. Dalam memastikan rakyat negeri Johor sentiasa hidup dalam persekitaran yang bersih dan baik. Kerajaan secara berterusan menjalankan penguatkuasaan ke atas punca-punca industri bagi memastikan mematuhi kepada standard-standard dan peraturan-peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar. Berkenaan isu kilang memproses kelapa sawit milik Mestika Sdn. Bhd. yang dibangkitkan YB dari Jementah. Dimaklumkan bahawa pemasangan sistem bio-gas berkaitan kolam-kolam sedia ada adalah di dalam proses pemasangan iaitu dengan kemajuan kerja terkini 50% dan dijangka siap sepenuhnya 31 Disember 2018.

Jabatan Alam Sekitar di dalam proses mengeluarkan arahan untuk pihak kilang meningkatkan sistem pengolahan influence dengan menukarkan kolam-kolam pengolahan influence sedia ada dengan sistem tertutup, anaerobic digestor tank, dengan izin, iaitu akan mengurangkan pencemaran bau dengan lebih berkesan dan meningkatkan kecekapan sistem bio-gas. Selain daripada itu, hasil semakan laporan Pemodelan Kualiti Air yang telah diterima oleh Jabatan Alam Sekitar daripada pihak perunding pada 12 hari bulan Ogos 2018, mendapati pelepasan influence oleh kilang kelapa sawit Mestika Sdn. Bhd. ke Sungai Siput atau alur air berkaitan adalah tiada kesan yang ketara yang boleh menjejaskan kualiti air sungai atau alur air yang sedia ada.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Empangan Machap merupakan salah satu punca air mentah kepada Sungai Benut. Selain Sungai Ulu Benut sepanjang laluan air sungai ini ke Loji Rawatan Air Simpang Renggam, terdapat beberapa punca yang berpotensi menyebabkan peningkatan ammonia di Sungai Benut. Punca-punca tersebut adalah Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ladang CEP, loji-loji rawatan kumbahan, ladang-ladang ternakan ayam, air larian dari parit bandar Simpang Renggam.

Bagi makluman YB dari Machap berhubung kejadian tarikh 5 Ogos 2018, Jabatan Alam Sekitar melalui cawangan Kluang telah menjalankan siasatan pada tarikh yang sama. Jadi, pada siasatan yang dijalankan ke atas premis Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ladang CEP mendapati tiada kesan limpahan leachate ditemui dan keadaan adalah terkawal pada masa tersebut. Walau bagaimanapun sample leachate telah diambil untuk tujuan mengenal pasti tahap kandungan. Sample tersebut telah dihantar Ke Jabatan Kimia Malaysia dan keputusan dijangka mengambil masa 4 hingga 6 minggu.

Untuk makluman, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tapak pelupusan ini adalah di bawah pemantauan dan pengurusan SWCorp dan Jabatan Sisa Pepejal Negara iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bacaan Indeks Kualiti Air (Water Quality Index) yang dicerap oleh Jabatan Alam Sekitar Johor pada 14 Ogos 2018 bagi Sungai Skudai dan Sungai Tebrau berada pada paras 4. Walaupun ia dalam kategori tercemar namun ia belum boleh dikatakan berada dalam keadaan yang sangat tenat seperti mana yang dinyatakan oleh YB Senggarang.

Selain pencemaran kualiti air, pencemaran fizikal juga ketara kerana dapat dilihat banyak sampah-sampah terapung di dalam sungai. Sampah-sampah ini datangnya dari pelbagai punca yang berada di sekitar tebing sungai dan kawasan tadahannya. Pencemaran dari kilang, perumahan, setinggan dan sebagainya yang mengalir terus ke sungai tanpa ada sebarang rawatan terlibat banyak mempengaruhi kualiti air. Perkara ini berlaku sejak sekian lama dan agak sukar dilaksanakan secara segera.

Tindakan secara cermat dan berhemah turut diambil bagi mengelak timbulnya masalah lain berkaitan masyarakat setempat yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, agensi-agensi yang terlibat dalam soal ini sedang dan akan mengambil tindakan susulan dari masa ke semasa untuk menghindarkan keadaan menjadi semakin kritikal.

Bagi Sungai Skudai misalnya, kerajaan Johor melalui agensi terlibat telah menubuhkan Jawatankuasa Sungai Skudai Water Blue Print. Jawatankuasa ini diuruskan oleh UPEN Johor dan JPS Johor. Di bawah jawatankuasa ini, terdapat satu program yang dipanggil Program Peremajaan Sungai Skudai yang melibatkan jawatan kerja di peringkat daerah Johor Bahru dan Kulai. Di peringkat daerah Johor Bahru dan Kulai ia diketuai oleh pegawai daerah itu sendiri. Kemajuan program ini masih perlahan kerana masyarakat masih menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan yang paling mudah. Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan sedang mengambil pelbagai inisiatif program dan aktiviti bagi tujuan yang sama untuk menjaga kepentingan Sungai Skudai dan mengajak masyarakat supaya menghargai sungai dan sumber air.

Selain itu, bagi maklumat YB dari Perling, terdapat kajian yang telah dan sedang dijalankan untuk menangani banjir kita terutamanya di daerah Johor Bahru iaitu UPEN Johor telah mengadakan Kajian Pelan Tindakan Banjir Negeri Johor, JPS Malaysia telah mengadakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam Tebrau Dan Plentong yang sedang disediakan oleh perunding AMM dijangka siap pada Oktober 2018.

YB Adun Yong Peng, ada menyatakan sungai di kawasannya kurang diselenggarakan. Untuk pengetahuan YB Adun Yong Peng, Sungai Bekok, Sungai Temehel dan Sungai Simpang Empat sedang dalam proses untuk dibersihkan. Pihak kerajaan melalui JPS kebiasaannya menjalankan kerja penyelenggaraan sungai dalam tempoh 3 hingga 5 tahun sekali, bergantung kepada kemampuan kewangan yang ada. Sungai-sungai yang dipilih untuk di selenggara adalah berdasarkan kepada tahap kekerapan banjir yang berlaku di kawasan sekitarnya atau masalah yang dihadapi oleh penduduk sesuatu tempat. Bajet penyelenggaraan sungai telah dipohon dan diluluskan pada setiap tahun sama ada dari kerajaan negeri atau persekutuan.

Jumlah yang diluluskan bergantung kepada kemampuan negeri dan bajet federal. Setakat ini, cadangan YB Yong Peng agar penyelenggaraan sungai dapat dijalankan sekurangnya 2 kali setahun tidak dapat dipertimbangkan kerana ia akan melibatkan peruntukan begitu besar dan kurang praktikal.

Berkenaan isu banjir kilat oleh YB dari Jementah, peruntukan bagi menyelesaikan isu banjir di Sungai Siput telah dipohon tetapi belum lagi diluluskan. Ini telah dipohon dalam rolling plan ke-3 dan rolling plan ke-4 dalam RMK Ke-11 kerajaan persekutuan. Buat sementara, bagi mengurangkan impact banjir di kawasan Sungai Siput, JPS telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan tersebut sebagai langkah jangka pendek.

Begitu juga isu banjir termenung di kawasan YB dari Serom. Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kesang pada dasarnya boleh dibahagikan kepada 2 iaitu membina pintasan banjir, pintu kawalan pasang surut dan kerja lain bagi mengawal kesan air pasang surut yang memberi kesan kepada kawasan hilir sungai, kedua, menaik taraf Sungai Kesang sebanyak 3.4 kilometer dan kerja lain bagi meningkatkan kapasiti dan hala tuju aliran sungai untuk mengelakkan air di kawasan pertengahan dan ulu sungai.

Speaker

Banyak lagi Yang Berhormat, hampir 30 minit ini.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Soalan saya paling banyak Tuan Speaker, sememangnya diakui bahawa banyak agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga sungai. Agensi-agensi tersebut menjalankan tugas berdasarkan kepada peralatan dan fungsi masing-masing. Terdapat dua peringkat itu agensi persekutuan dan juga negeri. Saya mengucapkan terima kasih kepada cadangan dan peringatan YB dari Pemanis agar diwujudkan jawatankuasa khas atau enakmen khusus untuk menangani perkara berkaitan dan penjagaan sungai ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk maklumat YB dari Senggarang, tindakan pihak Jabatan PERHILITAN apabila menerima gangguan konflik kera dan babi adalah ke lokasi aduan bersama pengadu untuk menjalankan siasatan. Tindakan tembak, halau akan

dijalankan sekiranya lokasi aduan adalah berhampiran kawasan hutan yang luas bagi memberi ruang hidupan liar melarikan diri jauh ke dalam hutan dan tidak mengganggu lagi.

Bagi maklumat YB dari Kahang, kerja-kerja bagi projek Santuari Gajah Johor sedang dilaksanakan mengikut jadual kemajuan projek bagi fasa pertama di mana peruntukan melalui kerajaan persekutuan yang disalurkan sebanyak RM15 juta bermula tahun 2016 hingga 2020. Peratus kemajuan adalah sebanyak 36% sehingga Mei 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, negeri Johor tidak kurang hebatnya kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia sebagai salah satu penyumbang terbesar bagi pengeluaran tanaman makanan di Malaysia, berdasarkan buku perangkaan aduan makanan 2017, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Johor mengeluarkan 592,000 matriks tan buah-buahan iaitu 41% daripada keseluruhan Malaysia. 203,000 tan matriks sayuran-sayuran 19% daripada Malaysia, 42,000 tan matriks tanaman kontan 20% daripada Malaysia, 107 tan matriks tanaman kelapa 21% daripada Malaysia, 13,000 tan tanaman rempah ratus 24% daripada Malaysia serta 274,000 tan matriks nenas iaitu 81 % daripada Malaysia.

Terima kasih juga daripada YB dari Simpang Jeram yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di atas komitmen untuk membantu memajukan negeri Johor dalam sektor pertanian khususnya dalam membangun hab pengeluaran daging, hab kerang-kerangan dan juga hab buah-buahan, tanam-tanaman.

Terima kasih diucapkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya YB dari Senggarang, Buloh Kasap, Semarang, Endau dan Tenang atas keprihatinan untuk menambah baik sektor pertanian di negeri Johor. Saya juga menyambut baik akan teguran bagi memastikan sekuriti makanan di negeri Johor terjamin demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, dasar kerajaan negeri Johor dalam membangun sektor pertanian adalah berdasarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020. Objektif utama pasaran, strategi ini adalah menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan. menjadikan sektor pertanian sebagai yang berdaya saing, kompetitif dan mampan. Meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.

Kerajaan negeri sedang dan telah merangka program dan tindakan yang positif ke arah usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan-bahan tanaman melalui tanaman selingan, kebun integrasi, pembukaan kebun kawasan baharu, penambahbaikan kawasan sedia ada. Kerajaan negeri Johor akan tetap meneruskan projek pengeluaran makanan ZPM, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan akan memberikan inisiatif serta galakan kepada rakyat untuk bertani. Dari segi pemasaran produk pertanian usahawan dibantu oleh pihak FAMA untuk memasarkan hasil pertanian mereka. Perbincangan bersama pihak FAMA perlu dibuat oleh usahawan di peringkat awal lagi untuk menentukan tanaman berpotensi dan mempunyai permintaan di pasaran.

Yang Berhormat Tuan Speaker, YB Adun Serom ada mencadangkan supaya projek pengeluaran beras wangi Johor diberikan perhatian khusus untuk dibangunkan. Aktiviti penanaman padi beras wangi ini bermula di daerah Tangkak pada tahun 2013 di empat kawasan sawah iaitu Kesang, Kesang Tasik, Kesang Gik, Teluk Rimba Sawaring sebagai percubaan. Sehingga kini terdapat 41 usahawan yang mengusahakan padi tersebut iaitu seramai 30 orang di Teluk Rimba dan 11 orang di Kesang Tasik dengan kawasan penanaman seluas 40 hektar. Padi ini amat berpotensi untuk dikembangkan kerana ia setanding dengan beras wangi yang diimport namun ia kurang mendapat sambutan di kalangan petani kerana harga benihnya yang mahal dimonopoli oleh kilang. Benih bagi padi jenis ini hanya boleh diperolehi daripada kilang-kilang jelapang selatan dan Mardi di Pulau Pinang. Selain itu, harga belian balik oleh kilang adalah sama seperti padi biasa. Masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan beras ini di negeri ini. Yang berhasil menerusi penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

Yang Berhormat Tuan Speaker, demikianlah tadi penjelasan saya ke atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Berhormat yang mulia ini sepanjang segmen perbahasan. Saya mohon maaf sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin terlepas pandang dalam penjelasan saya sebentar tadi. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada jabatan dan agensi di bawah portfolio saya yang membantu memberikan ulasan bagi menjawab persoalan yang telah diajukan. Sekian, terima kasih.

Speaker

4 minit lagi, 40 minit Yang Berhormat tadi. Seterusnya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan. Silakan.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Melati mekar tepian muara, singgah riang sekawan tempua assalamualaikum mulanya kata. Salam harapan Johor menambah bicara. Yang Berhormat Tuan Speaker, serta Ahli-Ahli Dewan yang mulia. Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dengan komited dalam penggulungan melibatkan Portfolio Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri. Terima kasih juga di atas peluang yang telah diberikan kepada saya untuk turut serta dalam penggulungan perbahasan atas rundingan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim kerana berkenan berangkat dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan cadangan serta pandangan dan juga teguran tentang perkara-perkara yang berhubung kait dengan jabatan-jabatan di bawah portfolio Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor serta Pendidikan. Daun selasih si pucuk ubi, dimakan orang majlis kenduri; terima kasih rakan-rakan YB atas saranan dan cadangan yang diberi.

Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli Dewan yang mulia, kita sedia maklum bahawa belia adalah aset penting kepada negara dan negeri Johor yang akan memimpin serta mencorak pembangunan negara daripada pelbagai sudut pada masa hadapan. Justeru itu pihak kerajaan negeri Johor memandang serius dan akan memastikan belia-belia di negeri Johor terus berada pada tahap yang terbaik ke hadapan untuk bersama menyumbang kepada pembangunan negeri Johor khasnya dan negara amnya dari pelbagai sudut. Untuk itu, belia-belia di negeri Johor akan terus diberi perhatian dan dibantu dari pelbagai sudut untuk memastikan golongan generasi Y ini terus berdaya saing bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Untuk memastikan ianya dapat dicapai dan dilaksanakan dengan baik kerajaan negeri Johor juga akan menyusun program-program yang akan memberi impak kepada golongan generasi Y ke arah memperkasa keberkesanan pelaksanaan program-program yang melibatkan belia-belia di negeri Johor, agar ianya memberikan impak dan kesan kepada pelbagai lapisan belia hingga ke peringkat akar umbi seperti memenuhi kehendak belia. Pihak kerajaan melalui Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor akan ke semua daerah di negeri Johor untuk bertemu belia dan mendapatkan tindak balas untuk pelaksanaan program yang menepati kehendak belia masa kini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk memberi lebih tumpuan kepada golongan-golongan belia di peringkat akar umbi terutama mereka yang tidak mempunyai pendidikan atau mendapat pendidikan minimum. Ini perlu kita utamakan kerana terdapat lebih kurang 70% belia berada di dalam golongan ini dan kita rasa mereka ini jugalah yang kita boleh gunakan untuk mengisi kekosongan pekerja bagi menggantikan pekerja asing di dalam negeri ini.

Berkaitan isu perumahan belia, kerajaan negeri Johor telah menghapuskan kuota menegak kerajaan KMK dan memberi ruang 50% kepada golongan belia untuk mendapatkan rumah. Kerajaan negeri Johor melalui Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor juga telah merancang satu program untuk bertemu golongan belia di seluruh negeri Johor pada bulan

September dan Oktober bagi mendapatkan idea dan konsep terkini yang menepati kehendak dan cita rasa anak muda masa kini khasnya di Johor. Ianya akan melibatkan belia dari golongan profesional, pertengahan dan belia dengan pendidikan minimum. Belia-belia yang terlibat dalam dunia keusahawanan juga akan diberikan ruang dan peluang yang seluas-luasnya, agar mereka dapat mengembangkan perniagaan mereka hingga peringkat antarabangsa agar usahawan muda ini dapat membantu dalam pembangunan ekonomi negara dan dalam masa yang sama dapat menambah peluang pekerjaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, program-program yang melibatkan Pembangunan Modal Insan, membina nilai diri dalam anak muda khasnya di dalam negeri Johor melalui Sukarelawan Darul Ta’zim akan diteruskan di mana saya difahamkan Sukarelawan Darul Ta’zim telah dilaksanakan selama 3 tahun, yang ianya merupakan penyumbang terbesar kepada konsep Pembangunan Modal Insan Belia. Program Johor Future akan ditambah baik dan akan lebih berfokus agar ianya dapat dilaksanakan dengan konsep yang baru serta semangat baru yang mana ianya akan memberikan tumpuan kepada faktor kesihatan golongan mereka yang memerlukan bantuan secara menyeluruh melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, usia serta umur.

Kerajaan negeri Johor akan terus memperkasa Sukarelawan Darul Ta’zim dengan melaksanakan program-program kepimpinan kesukarelawan yang mana ia akan dilaksanakan seluruh negeri Johor untuk melahirkan pemimpin-pemimpin sukarelawan agar ianya boleh membantu mengembangkan konsep kesukarelaan untuk disemarakkan di seluruh negeri Johor hingga ke peringkat akar umbi. Kita mahu konsep kesukarelaan ini menjadi sesuatu yang besar dan menjadi budaya di negeri Johor tanpa mengira lapisan masyarakat dan umur serta ianya dapat membantu serta menyumbang tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan.

Korektor anak Johor dengan menerapkan semangat bangsa Johor tanpa mengira lapisan masyarakat akan di perkasa dan kesukarelaan akan dijadikan sebagai asas untuk membinanya. Sukarelawan Darul Ta’zim akan terus di perkasa agar ianya boleh bergerak seiring dengan Mercy Malaysia, Oxfam US Aid, Doctors Without Brother, Qatar Charity atau Hezdmet Turkey dengan izin dan menabur luas bakti bukan hanya di Johor tetapi di seluruh pelosok dunia. Program yang melibatkan akar umbi juga akan di perkasa dan penerapan awal kepada pembangunan modal daripada peringkat umur 16 tahun akan diperkenalkan di sekolah menengah seluruh negeri Johor. Sasaran utama ialah belia yang tercicir dalam pelajaran untuk diberi ruang dan peluang menceburi bidang kemahiran bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran. Pelaksanaan program yang melibatkan belia pada masa akan datang akan menekankan pada kualiti bukannya kuantiti, agar impak daripada program yang dilaksanakan benar-benar melahirkan golongan belia yang mampu membantu menyemarakkan program dan melahirkan belia yang mempunyai semangat bangsa Johor yang tinggi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, belia merupakan generasi yang akan mencorak pembangunan negara pada masa akan datang. Justeru itu golongan ini perlu diberikan peluang dan ruang untuk mereka menjalankan aktiviti yang berfaedah seperti boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Kerajaan negeri Johor berhasrat untuk membina hab aktiviti belia di seluruh negeri Johor untuk digunakan oleh golongan belia khasnya. Sebagai permulaan kita akan membina 4 buah hab belia di negeri Johor, di Johor Bahru mempunyai 2, Muar, Batu Pahat dan Mersing.

Untuk daerah Johor Bahru ianya telah dibangunkan di Hutan Bandar, Johor Bahru dan kini dalam proses naik taraf yang mana ianya di bawah seliaan Iskandar Regional Development Authority dengan izin IRDA. Hab belia induk akan dibina dan sedang dalam proses adalah di kawasan Iskandar Puteri Johor Bahru. Ianya akan mempunyai kemudahan serba lengkap untuk belia menjalankan pelbagai aktiviti yang merangkumi berbagai aspek. Hab belia di daerah Muar yang akan dibangunkan dengan peruntukan kerajaan pusat adalah di kawasan Tanjung Ketapang, Muar, yang mana bangunan Pusat Pembangunan Belia Daerah Muar

akan di naik taraf untuk penambahan pelbagai kemudahan aktiviti untuk belia. Hab muda ini sekarang dalam proses lantikan juru perunding dan insya-Allah akan dibina tahun hadapan.

Hab belia di Batu Pahat dan Mersing juga akan dibangunkan sebagai tempat belia beraktiviti. 4 hab itu akan diberi keutamaan untuk dibangunkan dan selepas itu disusuli dengan hab di daerah Pontian, Kluang, Segamat, Tangkak, Kulai dan Kota Tinggi. Dalam masa terdekat pihak kerajaan akan ke seluruh daerah negeri Johor untuk bertemu dengan belia berbagai daripada lapisan dengan tujuan mendapatkan maklumat tentang keperluan dan kehendak belia semasa, merangkumi pelaksanaan program yang mengikut kehendak belia dan pastinya di setiap daerah mempunyai pandangan serta minat yang berbeza. Kita mahukan hab belia yang dibangunkan benar-benar memenuhi kehendak belia setempat, agar ianya dapat digunakan dengan maksimum untuk mengelakkan pembaziran. Justeru itu ianya harus mengikut keperluan dan kehendak belia setempat di setiap daerah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Tuan Speaker Majlis Sukan Negeri Johor telah menjalankan program-program latihan bagi persiapan kontinjen SUKMA Johor bagi menghadapi SUKMA ke 19 di Perak pada tahun ini, sejak tahun 2017 lagi. Mereka telah memperkenalkan satu program iaitu Program Titanium 2020. Program yang dijalankan ini memberi tumpuan khusus jangka masa panjang terutamanya bagi persiapan menghadapi SUKMA Johor 2020. Bagi persiapan kontinjen 2018 yang seramai 498 orang atlit dan 103 orang pegawai yang akan mengalas cabaran negeri Johor pada kali ini. Daripada 498 atlit tersebut seramai 364 orang atlit iaitu 73% masih boleh mewakili negeri Johor semasa Johor menjadi tuan rumah pada tahun 2020.

Oleh yang demikian, perancangan serta pelaksanaan program ini menunjukkan bahawa SUKMA 2018 ini merupakan pendedahan yang terbaik bagi atlit-atlit ini bagi merasai sendiri suasana serta cabaran sebenar sukan terbesar di Malaysia. Sasaran kontinjen SUKMA 2018 ialah sebanyak 23 pingat emas, yang mana sasaran ini realistik dengan melihat kepada kematangan atlit negeri Johor serta saingan daripada negeri-negeri yang bertanding nanti. Kalau mengikut sasaran Yang Berhormat Sri Medan, beliau mensasarkan 40 pingat emas sebelum bersara, tapi saya tidak mahu bersaing dari segi angka sasaran, sebab saya mahu buktikan bahawa sasaran yang diputuskan setelah perbincangan 2 hala antara kerajaan negeri bersama Majlis Sukan Negeri Johor dan pengurusan pasukan kontinjen negeri, berdasarkan prestasi semasa atlit negeri Johor dan prestasi atlit negeri-negeri lain. Sukan-sukan yang dilihat akan menjadi sandaran dalam menyumbangkan pingat kepada negeri Johor ialah renang, berbasikal, angkat berat dan olahraga. Kita tidak mahu seperti dalam peribahasa Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Keciciran.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan Johor dan terus menerus memajukan memartabatkan kesinambungan pembangunan negeri Johor. Komitmen dan hasrat kerajaan negeri dalam menjadikan negeri Johor sebagai sebuah negeri aktif sukan dan sihat wajar kita semua sokong. Di sini saya ingin mengucapkan tahniah kepada JDT kerana berjaya memenangi kali ke 5 Liga Super.

Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan cadangan perancangan penubuhan sebuah muzium di daerah Muar, pernah dicadangkan bagi menempatkan sejarah warisan seni dan budaya yang ada di daerah Muar. Pembinaan awal bangunan untuk dijadikan muzium ialah bangunan lama Telekom Malaysia iaitu di Jalan Majidi Othman, Muar. Seterusnya bangunan pejabat kerajaan juga pernah dicadangkan untuk dijadikan muzium Muar. Oleh kerana kedua-dua bangunan lama tersebut tidak sesuai untuk dijadikan muzium, maka tapak tanah di persimpangan jalan masuk ke Kampung Raja bersebelahan Kompleks Belia dan Sukan Pagoh telah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai Muzium Muar.

Tapak-tapak tersebut yang berkeluasan 2 ekar 2 rod 30 pol telah dirizabkan sebagai tapak muzium. Tapak tersebut telah diambil balik tanah oleh kerajaan sebagaimana pemberitahuan Warta Kerajaan No GN 87 bertarikh 31.1.1991.Penubuhan muzium tersebut sebagai pusat mengumpul, mempamer, menyelamat, memelihara dan memulihara warisan

sejarah, seni dan budaya khususnya di daerah Muar.Ini termasuklah warisan Tarian Singa Muar dan sebagainya. Selain daripada itu Muzium Batu Pahat juga akan diwujudkan dan usaha-usaha pentadbiran sedang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya juga suka untuk saya berkongsi akan intipati falsafah pendidikan di Malaysia iaitu suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia khususnya anak bangsa Johor yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan diri terhadap keharmonian kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Sehubungan itu kerajaan negeri Johor sangat komited bagi mendukung falsafah ini dan seterusnya memastikan semua pelajar dan tenaga pendidik negeri Johor memperoleh manfaat pendidikan yang sebaiknya seiring dengan keperluan era globalisasi yang kian memuncak. Ledakan era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran demi mewujudkan bangsa Johor berkualiti dan berprestasi tinggi ianya hendaklah bermula daripada pendidikan yang dinamik.

Di bawah portfolio pendidikan di negeri Johor ada beberapa perkara yang ingin saya jelaskan di sini. Antaranya, berhubung inisiatif harapan siswa, manifesto penubuhan universiti Johor dan isu berbangkit di sekolah.

1. Insentif Harapan Siswa.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan. Melalui pendidikan ilmu pengetahuan dapat digunakan dan diaplikasikan bagi membangunkan negara Malaysia khususnya negeri Johor. Melalui pendidikan juga, orang yang datang dari latar belakang keluarga yang susah dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Keadaan ini memperlihatkan kepada kita betapa pentingnya pendidikan dalam membangunkan dan menaik taraf sekecil-kecil institusi mahupun sebuah negara.

Sehubungan dengan itu, Insentif Harapan Siswa yang diperkenalkan pada tahun 2018 bertujuan memberikan bantuan pendaftaran kepada anak-anak Johor yang melanjutkan pengajian di peringkat IPT. Untuk makluman, Insentif Harapan Siswa ini bukan sahaja ditawarkan kepada pelajar IPTA tetapi kini ia telah ditambah baik dengan menawarkan insentif ini kepada pelajar-pelajar IPTS terpilih seperti Kolej YPJ, MARSAH dan semua universiti yang terletak di dalam kawasan EDUCITY.

Selain dari itu, seperti yang telah dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kadar bantuan insentif juga telah dinaikkan dari RM750.00 kepada RM1,000.00 bagi pelajar ijazah manakala bagi pelajar diploma pula masih kekal sebanyak RM500.00. YPJ juga telah mengurangkan syarat minimum gaji isi rumah pemohon dari RM4,000.00 kepada RM5,000.00 bagi membolehkan lebih ramai mendapat manfaat dari insentif ini. Justeru, besar harapan supaya insentif ini dapat mengurangkan beban keluarga B40, seterusnya menyuntik semangat pelajar-pelajar ini untuk menambah baik taraf kehidupan keluarga masing-masing dan terus berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Permohonan Insentif Harapan Siswa ini akan dibuka sekali lagi pada 26 Ogos 2018 selama sebulan bagi membantu pelajar yang akan masuk ke universiti pada bulan September 2018, mahupun pelajar yang masih belum berkesempatan untuk mendaftarkan diri sebelum ini. Permohonan boleh melayari portal www.ypj.gov.my untuk mendapatkan borang permohonan.

2. Universiti Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan. Berhubung isu Universiti Johor yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Rengit dan Yang

Berhormat Parit Raja. Pastinya, Ahli-Ahli tertanya-tanya apakah tindakan yang telah pihak kerajaan lakukan dalam menjayakan manifesto 5 tahun ini? Untuk makluman, beberapa jawatankuasa panel penasihat dan sekretariat sedang diwujudkan sejak awal bulan Jun 2018 bagi membolehkan kajian dan gerak kerja dalam menubuhkan universiti Johor dapat dilaksanakan. Beberapa siri mesyuarat juga telah diadakan bagi membincangkan konsep dan falsafah asas Universiti Johor.

Pada 19 Jun 2018, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Johor telah perkenan akan penubuhan Universiti Johor. Pada 24 Julai 2018, perjumpaan bersama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dr. Maszlee telah dilakukan bagi membincangkan penubuhan Universiti Johor dan kertas asas perancangan Universiti Johor telah pun dibentangkan kepada UPEN, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi, Wakil Menteri Pendidikan pada 6 Ogos 2018. Maklum balas positif diperoleh dan semua pihak sangat komited untuk membantu kerajaan negeri dalam merealisasikan penubuhan Universiti Johor. Konsep Universiti Johor adalah berdasarkan federated dan consolidation iaitu persekutuan dan gabungan bagi memenuhi tuntutan pembangunan pesat tumpuan di daerah-daerah dan mengelakkan aliran keluar belia dari daerah. Universiti Johor akan memperkenalkan konsep quadruple helix iaitu kerjasama universiti, industri, kerajaan dan komuniti di mana setiap graduan yang lahir dari universiti Johor melalui customize competency base education dengan izin merupakan graduan yang memenuhi kehendak industri, kerajaan dan komuniti. Pihak kerajaan sememangnya komited dalam merealisasikan Universiti Johor dan memastikan kesan limpahan manfaat yang meluas kepada rakyat dan kerajaan seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan 5 Tahun.

3. Isu Sekolah.

Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senai, terlebih dahulu saya nak mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Tuan Tee Boon Tsong berhubung isu-isu yang dibangkitkan. Pemakanan dan kesihatan pelajar untuk makluman tanggungjawab bagi pemantauan kantin sekolah adalah di bawah pengurusan sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat-Pejabat Pendidikan Daerah. Tugas unit ini adalah memantau bagi memastikan kantin-kantin sekolah dapat mematuhi penjualan makanan dan mematuhi kategori yang dibenarkan sahaja. Di sekolah-sekolah juga terdapat jawatankuasa kantin sekolah di bawah Unit Hal Ehwal Murid bagi memantau penjualan makanan di kantin-kantin sekolah seluruh negara. Bagi menangani masalah obesiti, akibat amalan pemakanan tidak sihat dan gaya hidup yang tidak aktif, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri pada 7 September 2016, yang memutuskan beberapa jenis makanan dalam kategori tidak digalakkan telah dimasukkan ke dalam kategori di larang untuk dijual di kantin sekolah. Ianya adalah bagi memastikan supaya pemakanan sihat seperti pengambilan makanan kurang lemak, gula dan garam seperti minuman kurang manis dijadikan amalan murid-murid sekolah. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengeluarkan surat siaran larangan penjualan makanan dan minuman yang tidak digalakkan penjualannya di kantin sekolah bertarikh 15 Mac 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan. Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan murid di sekolah sentiasa menerima bekalan makanan yang mematuhi amalan pemakanan sihat. Antaranya adalah :

i. Produk makanan dan minuman bagi mesin layan diri mestilah mematuhi senarai makanan dan minuman yang dibenarkan dijual sahaja.

ii. Semua kontrak perkhidmatan mesin layan diri yang berada di premis dan kawasan institusi sekolah mestilah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pengarah Pendidikan Negeri. Pihak kontraktor hanya boleh membekalkan minuman yang dibenarkan sahaja di mesin layan diri mereka.

iii. Mengedarkan surat siaran penguatkuasaan larangan penjualan makanan dan minuman di luar pagar sekolah oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menangani isu penjualan makanan dan minuman di luar pagar sekolah. Garis panduan yang telah dikeluarkan menetapkan jarak 40 meter dari pagar sekeliling sekolah sebagai lingkungan jarak tapak larangan penjualan makanan dan minuman. Pihak Berkuasa Tempatan bertanggungjawab menguatkuasakan larangan tersebut.

iv. Bagi memastikan semua pengusaha kantin mematuhi peraturan yang ditetapkan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan taklimat pengukuhan kendiri dan penguatkuasaan keselamatan makanan bagi sekolah rendah dan menengah tahun 2018 di setiap daerah.

v. Pengusaha dan pekerja kantin yang belum pernah menghadiri kursus katering sihat yakni anjuran Pejabat Kesihatan Daerah dan kursus asas pengendalian makanan anjuran Sekolah Latihan Kesihatan yang telah dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia wajib menghadiri kursus-kursus tersebut. Ini bertujuan untuk memastikan pengusaha dan pekerja kantin sekolah memiliki ilmu dan pengetahuan berkaitan penyediaan makanan dan minuman berkhasiat dan seimbang.

vi. Membekalkan minuman susu percuma setiap hari kepada 46,000 pelajar yang layak di negeri Johor. Kerjasama dengan kementerian kesihatan juga telah laksanakan bagi memastikan tahap kesihatan dan berat badan murid-murid berada dalam keadaan baik dengan mengeluarkan buku garis panduan pemakanan sihat di sekolah pada 30 Disember 2016.

Sehubungan itu, semua pengusaha kantin telah pun diingatkan perkara tersebut supaya mematuhi arahan yang telah dikeluarkan. Kerjasama ibu bapa juga adalah perlu bagi memastikan makanan yang diambil oleh anak-anak mereka semasa berada di rumah adalah dari makanan yang sihat.

4. Insurans Pelajar.

Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan. Berhubung isu insurans pelajar. Penjualan insurans kepada murid-murid adalah tidak dibenarkan memandangkan semua murid telah dilindungi insurans takaful dan dibayar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebarang penjualan produk ataupun barangan di sekolah oleh pihak luar perlulah mendapat kebenaran daripada pendaftar sekolah. Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan memastikan tiada sekolah yang terlibat dengan penjualan insurans tersebut dan sekiranya di dapati perkara tersebut berlaku, maka pihak sekolah perlu menghentikan penjualan seberapa segera.

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pendidikan merupakan mekanisme asas dalam meningkatkan pembangunan negara agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pendidikan memerlukan kerjasama daripada semua pihak bagi mengangkat status Malaysia khususnya negeri Johor dalam dunia pendidikan bertaraf dunia. Justeru itu, kerajaan turut menyeru golongan muda yang berinovasi untuk menyumbangkan idea dan kepakaran mereka dalam pembangunan pendidikan di negeri ini. Saya berjanji akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua cadangan dan teguran demi kepentingan awam terutamanya dalam bidang pendidikan di mana saya akan berusaha untuk melaksanakan cadangan penambahbaikan telah dikemukakan setelah mendapat kajian dengan teliti. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab saya dan juga amanah yang diberikan ini dengan sebaik mungkin. Menjamu selera berulam pegaga, di Tanjung Agas tempat tersohor, kesejahteraan rakyat hendaklah dijaga, kerana Johor semestinya Johor. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, saya mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan. Berapa minit agaknya YB EXCO akan menggunakan masa ini? Lebih kurang...

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Habis dalam 15 minit.

Speaker

Ya?

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

15 minit.

Speaker

Ok, silakan.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Insya-Allah. (Ketawa). Selamat pagi, salam sejahtera dan salam harapan kepada Yang Berhormat Tuan Speaker. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberikan peluang dan keizinan kepada saya untuk turut serta dalam sesi Penggulungan Perbahasan atas Rundingan Menjunjung Kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana perkenan berangkat dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya masih ingat lagi bahawa sebelum pembubaran Dewan sebelum ini, apabila Pakatan Harapan, kami duduk di sebelah sana, dan kita kata kita akan kembali ke Dewan yang mulia ini dengan tukar tempat duduk dan kali ini, hari inilah harapan ini tercapai dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi Johor Jaya kerana sekali lagi memberi mandat kepada saya mencipta sejarah dan membentuk sebuah Malaysia yang baru bersama dengan Pakatan Harapan. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor. Banyak perkara yang telah dibangkitkan semasa perbahasan tersebut dan saya akan memberi perhatian sepenuhnya terhadap semua teguran serta berusaha melaksanakan saranan serta cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya memulakan penggulungan saya dengan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Sungai Balang berkenaan Skim Caruman KWSP untuk suri rumah. Untuk makluman Dewan yang mulia, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan Skim Caruman KWSP untuk suri rumah yang juga merupakan salah satu janji 100 hari manifesto kerajaan Pakatan Harapan. Skim ini juga dikenali sebagai SURI atau Program Sukarela Insentif yang membolehkan suri rumah menikmati sekuriti sosial berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan. Program ini akan melibatkan 3 fasa pelaksanaan. Fasa pertama bermula semalam iaitu 15 Ogos dengan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40.00 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minima RM5.00 ke akaun KWSP. Bagi fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50.00 dengan RM10.00 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial iaitu PERKESO. Fasa ini dijangka bermula tahun depan. Fasa ketiga insentif suri rumah adalah di mana 2% sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal tahun 2020. Sumbangan kerajaan ke dalam akaun KWSP sehingga RM200.00 kepada mereka yang layak bagi caruman tempoh Ogos hingga Disember 2018. Bagi tahun berikutnya, jumlah sumbangan adalah sehingga RM480.00 setahun. Manfaat yang akan diterima oleh pencarum sebagai ahli KWSP termasuklah dividen tahunan, bantuan hilang upaya, bantuan kematian, pengeluaran simpanan dan pelepasan cukai. Ini juga tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Kelayakan pencarum i-SURI adalah seperti berikut:

1. Golongan suri rumah yang berdaftar dalam sistem e-kasih setakat 30 hari bulan Jun 2018 termasuk isteri kepada ketua isi rumah, ketua isi rumah wanita yang terdiri daripada balu, bercerai atau bujang.

2. Warga Malaysia yang belum mencapai umur 60 tahun mencarum sekurang-kurangnya RM5.00 sebulan atau RM60.00 setahun dan mana-mana suri rumah dan individu yang layak boleh membuat pendaftaran sebagai ahli KWSP atau i-SURI di mana-mana kaunter KWSP.

Yang Berhormat Tuan Speaker. Seterusnya isu agak hangat ketika ini iaitu isu taska, pembinaan atau pembangunan pusat jagaan atau taska di tempat kerja telah menjadi satu keperluan yang penting pada masa sekarang terutamanya kepada wanita yang bekerja. Umumnya, objektif utama penyediaan taska di tempat kerja ini adalah bagi membolehkan kaum ibu atau wanita menjalankan tanggungjawab sebagai ibu tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai pekerja. Ia juga bagi menggalakkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional di kalangan wanita untuk terus menyumbang dalam bidang masing-masing walaupun sudah berkahwin dan memiliki anak. Sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, kerajaan sentiasa menggalakkan penubuhan taska di tempat kerja bukan sahaja demi kepentingan pendidikan serta perkembangan awal kanak-kanak tetapi juga menjaga kepentingan kepada golongan berkerjaya. Pelbagai insentif telah diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan kepada mana-mana jabatan kerajaan atau syarikat swasta yang menubuhkan taska di tempat kerja ini. Antaranya melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyediakan insentif sebanyak RM200,000.00 bagi setiap agensi kerajaan yang menubuhkan taska di tempat kerja masing-masing. Selain itu, bagi syarikat swasta atau korporat pula, kerajaan melalui Kementerian Kewangan memberikan insentif melalui potongan cukai sebanyak 10% setiap tahun selama 10 tahun untuk membiayai kos penubuhan taska di tempat kerja. Melalui insentif ini, diharapkan akan memberi galakan kepada wanita untuk bekerja di samping memastikan anak-anak mendapat pendidikan awal yang berkualiti.

Selain itu, pemberian subsidi yuran pengasuh juga merupakan salah satu insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan ibu bapa khususnya di kalangan penjawat awam wanita tidak terbeban dengan kos sara hidup. Pemberian subsidi yuran ini diberikan kepada golongan penjawat awam yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000.00 sebulan. Kadar subsidi yang layak diberi adalah mengikut kadar yuran sebenar atau maksimum RM180.00 sebulan bagi seorang anak. Kadar subsidi ini dibayar terus kepada pengusaha taska oleh agensi di mana pegawai berkhidmat. Sekiranya yuran tersebut melebihi RM180.00, baki selebihnya akan ditanggung oleh pegawai berkenaan.

Kerajaan negeri Johor juga sangat komited untuk menyahut cabaran ini dengan menggalakkan penubuhan taska di tempat kerja melalui penglibatan beberapa agensi kerajaan sama ada jabatan negeri, badan berkanun dan GLC. Jabatan kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim telah mengambil inisiatif tersebut dengan penubuhan 2 buah taska iaitu Taska Bukit Timbalan dan Wisma Persekutuan sejak tahun 1999. Namun begitu, taska di Bukit Timbalan telah ditutup operasinya berikutan perpindahan pejabat dan kakitangan kerajaan negeri ke Pusat Pentadbiran Kota Iskandar pada tahun 2009. Manakala sebuah taska di Kota Iskandar akan ditubuhkan dalam waktu terdekat yang dijangka mampu memberikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak kepada penjawat awam yang bertugas di kawasan Pentadbiran Kota Iskandar.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Pakatan Harapan telah prihatin, tetap prihatin terhadap kehidupan, kesejahteraan dan pembangunan wanita. Ini telah dibuktikan dalam Manifesto Pakatan Harapan iaitu Skim Caruman KWSP kepada suri rumah yang saya terangkan sebentar tadi. Bagi peringkat negeri Johor, selain 10 janji 100 hari dalam Manifesto Pakatan Harapan Johor, kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil inisiatif dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan wanita, khususnya wanita yang bekerja selepas beranak. Dengan ini, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim akan

melancarkan satu kempen, iaitu Kempen Mama Friendly. Kempen Mama Friendly bertujuan untuk memupuk satu suasana yang mesra ibu dan kanak-kanak khususnya bayi yang menyediakan infrastruktur bilik khas ibu menyusu dalam sektor kerajaan dan swasta.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri akan menyediakan bilik khas untuk ibu menyusu di bangunan-bangunan kerajaan di Kota Iskandar. Ini adalah satu langkah untuk menyediakan tempat yang sesuai untuk lebih daripada 580 orang para penjawat awam wanita yang ingin mengepam susu mereka semasa waktu bekerja. Menyedari realiti hari ini di mana kekurangan tempat yang sesuai untuk ibu-ibu yang berkerjaya, ingin mengepam susu badan dan ada di kalangan mereka yang terpaksa melakukannya di pantry, surau ataupun di dalam tandas. Kerajaan negeri terpanggil untuk menyediakan sebuah bilik khas yang dilengkapi dengan kelengkapan yang sesuai. Kerajaan negeri merancang untuk menyediakan bilik khas pertama di Bangunan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi. Berdasarkan kepada hasil kajian dan soal selidik yang telah dijalankan di bangunan tersebut, terdapat 69 orang wanita penjawat awam dan ibu yang bekerja di bangunan tersebut dan 67 daripada mereka akan menggunakan bilik khas tersebut untuk mengepam susu sekiranya ia disediakan. Manakala lebih separuh daripada responden menyatakan ketidakselesaan mereka terhadap ruang yang sedia ada. Inisiatif ini adalah merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan negeri untuk menggalakkan penyusuan ibu untuk perkembangan dan kesihatan bayi-bayi. Kerajaan negeri juga amat berharap agar inisiatif ini dapat merangsang sektor swasta untuk turut sama menyediakan bilik khas, nursing room ini di tempat kerja sebagai tanda sokongan terhadap syor Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia agar ibu-ibu memberikan susu mereka kepada bayi semenjak hari kelahiran sehinggalah berusia 6 bulan ke atas.

Yang Berhormat Tuan Speaker, cuti kuarantin kepada ibu bapa di kalangan penjawat awam adalah sebagai mana diperuntukkan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2016 yang melayakkan pemberian cuti tanpa rekod sebanyak 5 hari bagi menjaga anak yang disahkan menghidap penyakit berjangkit termasuk HFMD. Walau bagaimanapun, Pekeliling ini tidak terpakai kepada pasangan suami atau isteri yang bekerja di sektor swasta atau GLC.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor sebelum ini pernah menyedia dan membangunkan sebuah Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor 1997 ke 2001 yang telah mengangkat, mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita di Johor. Mungkin sudah sampai masanya, kerajaan negeri perlu menyemak dan membangun semula Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor yang baru dengan mengambil kira keperluan dan isu-isu semasa berkaitan dengan memperkasakan wanita. Menerusi Bajet Negeri Johor 2019 yang akan datang, kerajaan negeri akan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara dan cadangan ini menyantuni dan memperkasakan kaum wanita di negeri Johor.

Berkenaan dengan isu penyertaan 30% wanita di peringkat pembuat dasar pula. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, berdasarkan kepada statistik 2013 Malaysia pun mengatasi sasaran kuota 30% wanita di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam dengan peratusan golongan wanita dalam kumpulan pengurusan tertinggi iaitu sebanyak 35.6% atau 1,419 orang pegawai wanita. Pegawai wanita adalah kumpulan majoriti iaitu 57.5% dalam perkhidmatan awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi sehinggalah kepada pengurusan kumpulan pelaksanaan. Peratusan ini tidak termasuk polis dan tentera. Kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam membuat dasar di sektor swasta melalui pengenalan berbagai inisiatif termasuklah inisiatif bilik khas penyusuan ibu dan juga taska di tempat kerja.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin beralih ke isu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Yang Berhormat Yong Peng membangkitkan mengenai prosedur kajian semula bantuan JKM dan bantuan lambat diberikan kepada penerima. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, perkhidmatan bantuan kebajikan kepada kumpulan sasaran adalah bagi membantu mereka yang berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna. JKM menyediakan perkhidmatan bantuan dan sokongan kewangan kepada

golongan ini bagi pencegahan, pemulihan, perlindungan, pembangunan dan integrasi yang telah dilaksanakan melalui kerja sosial. Setiap penerima bantuan diterapkan amalan kerja sosial di antara penerima dan pekerja kes. Amalan ini bagi memastikan wujudnya perhubungan antara pekerja kes dan penerima bantuan. Semua bantuan kewangan yang diluluskan adalah hanya untuk tempoh 1 tahun. Kajian semula adalah syarat utama bantuan kewangan yang diterima sama ada dilanjutkan atau ditamatkan selaras dengan garis panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bilangan 3 Tahun 2018.

Bagi tujuan kaji semula, pekerja kes perlu mengeluarkan satu surat pemakluman awal serta borang JKM 20 kepada client, 3 bulan sebelum tempoh kelulusan tamat. Client hendaklah mengembalikan kepada pekerja kes dalam tempoh 2 minggu dari tarikh surat diterima. Dan perkara ini, semua telah dimaklumkan kepada penerima di awal bantuan diluluskan. Sekira kes uzur atau sakit, terlantar atau dengan urusan lain yang munasabah, pekerja kes akan membuat lawatan ke rumah dan menyediakan laporan siasatan kaji semula tersebut. Client boleh menghubungi pekerja kes pada bila-bila masa untuk penyelesaian perkara ini dan amalan ini telah diguna sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan. Tempoh kaji semula bantuan setiap 1 tahun adalah munasabah bagi takrifan kerja sosial, bagi menentukan tahap kemampuan client dari segi kesihatan, ekonomi keluarga, pekerjaan, tempat kediaman, taraf perkahwinan, taraf tanggungan terutama umur anak-anak dan lain-lain yang berkaitan. Adalah tidak berapa sesuai bagi amalan kerja kes untuk tujuan ini untuk tempoh sehingga 3 tahun bagi tujuan menilai perkembangan penerima bantuan. Bayaran bantuan akan disalurkan melalui bank ke dalam akaun client selewat-lewatnya pada 5 hari bulan, setiap bulan. Pemantauan dilakukan oleh pihak ibu pejabat Putrajaya. Bagi bayaran pertama akan diselaraskan melalui Tabung Bantuan Segera di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan boleh dibayar serta merta ini adalah tindakan jabatan untuk memastikan bayaran bantuan tidak lewat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yong Peng juga membangkitkan mengenai isu dasar mesra OKU. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, golongan Orang Kurang Upaya merupakan sebahagian daripada masyarakat oleh itu mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights base dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. OKU adalah seorang yang tidak mempunyai tidak keupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat. Salah satu langkah positif yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan iaitu JKM ialah memperkenalkan Akta OKU 2008 hasil kerjasama yang amat rapat serta kongsi bijak bersama semua stakeholder termasuk warga OKU dan keluarga mereka. Badan bukan kerajaan berkaitan, agensi kerajaan berkaitan, para akademik dan lain-lain yang berkenaan.

Melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008 dalam bahagian IV ada menyatakan Penggalakan Dan pembangunan Kualiti Hidup Dan Kesejahteraan OKU iaitu kebolehaksesan (Akses kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam).

Cadangan ini adalah kerana dalam Akta OKU 2008 ada menyebut bahawa OKU hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang ramai atas asas kesetaraan dengan orang upaya, tetapi tertakluk kepada kewujudan atau kemunculan apa-apa keadaan yang boleh membahayakan keselamatan Orang Kurang Upaya.

Pihak PBT juga disarankan agar dapat menyedia mana-mana kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam hendaklah memberi pertimbangan yang sesuai dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam itu menepati reka bentuk sejagat bagi memudahkan

akses kepada penggunaan oleh Orang Kurang Upaya terutamanya OKU berkerusi roda dan OKU penglihatan.

Kesimpulannya, cadangan wakil OKU sebagai Ahli Majlis PBT dari pihak Yang Berhormat adalah dialu-alukan dan disokong demi meningkatkan lagi kemudahan di kalangan OKU itu sendiri.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Parit Raja membangkitkan mengenai 4 PDK yang telah diluluskan dalam Bajet 2018. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, kerja-kerja membina bangunan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pemanis dan Kahang telah mencapai tahap 95 peratus siap. Sementara, PDK Parit Raja dan FELDA Nitar 2 pula, pembinaan PDK ini akan dibawa ke tahun hadapan iaitu tahun 2019.

Yang Berhormat Tuan Speaker, isu gelandangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Larkin. Untuk makluman, bagi tahun 2017, terdapat 182 kes orang papa yang diselamatkan di sekitar Bandar Johor Bahru di mana daripada jumlah tersebut 52 orang adalah pengemis dan 159 orang adalah gelandangan.

Bagi tahun 2018 pula iaitu sehingga Julai 2018, sebanyak 61 kes dicatatkan dari 16 pengemis dan 49 gelandangan telah diselamatkan di sekitar Bandar Johor Bahru.

Untuk keseluruhan negeri Johor pula, seramai 52 orang pengemis dan 170 orang gelandangan telah diselamatkan sepanjang tahun 2017. Manakala, setakat Julai 2018 pula, seramai 84 orang papa yang telah diselamatkan iaitu terdiri daripada 24 orang pengemis dan 60 orang gelandangan.

Pihak JKM mengambil pendekatan mengadakan operasi bersepadu mencegah aktiviti dengan menyelamatkan golongan gelandangan, tanggungjawab ini juga bukan terletak di bawah JKM sahaja tetapi menjadi tanggungjawab bersama agensi lain antaranya PBT, Agensi Anti Dadah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak Imigresen serta Jabatan Agama Islam.

Daripada segi Penguatkuasaan, JKM juga menjalankan tindakan operasi secara ad hoc jika terima aduan. JKM di setiap daerah akan buat rondaan secara berkala atau berjadual di tempat yang berpotensi sering berlaku aktiviti pengemisan atau gelandangan.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memasang bunting dan mengedarkan Poster dengan slogan “Bijak Membantu. Elak Tertipu”, di semua daerah.

Selain itu, inisiatif ini dibuat melalui khutbah Jumaat dengan kerjasama JAKIM.

Speaker

Dah 20 minit Yang Berhormat.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Akhir sekali. Yang Berhormat Tuan Speaker,sebelum saya beralih kepada isu pelancongan, izinkan saya untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Sungai Balang iaitu mengenai penyertaan wanita sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan. Sehingga kini, terdapat 24 orang wanita yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis dalam fasa pertama pelantikan. Saya percaya terdapat ramai lagi wanita yang akan dilantik dalam fasa kedua nanti dan matlamat kuota 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar akan tercapai.

Saya memahami kebimbangan Sungai Balang berkenaan isu ini namun begitu, Pakatan Harapan telah mencipta sejarah apabila pelantikan wanita pertama Malaysia menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Di Johor juga, pelantikan Yang Berhormat Penggaram untuk mengisi kerusi Timbalan Speaker Dewan yang mulia ini adalah merupakan antara pengiktirafan Pakatan Harapan terhadap sumbangan wanita dan keseriusan Pakatan Harapan untuk menggalas inisiatif 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar.

Sungai Balang juga membangkitkan mengenai ketiadaan muka surat yang memfokuskan ke arah memperkasakan wanita kecuali KWSP 2 peratus dalam Buku Harapan. Saya tidak pasti sama ada Sungai Balang ini benar-benar membaca Buku Harapan atau tidak. Oleh sebab masa kesuntukan saya galakkan Sungai Balang untuk membaca dengan teliti.

Izinkan saya ke topik pelancongan. Untuk makluman...

Speaker

Sambung terus Yang Berhormat, lagi berapa minit Yang Berhormat.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

2 minit.

Speaker

OK.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Akhir sekali, hasrat untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang dinamik dan bernilai tinggi pada tahun 2023 tidak akan dicapai oleh kerajaan negeri tanpa usaha-usaha berterusan dan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak terutamanya penggerak-penggerak industri pelancongan Negeri Johor.

Justeru itu, saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada penggerak-penggerak industri pelancongan Negeri Johor, pihak media dan juga NGO-NGO serta persatuan-persatuan yang terlibat.

Tidak dilupakan juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini. Segala cadangan akan diperhalusi dan juga prihatin dengan perkembangan pembangunan wanita dan industri pelancongan negeri Johor. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat EXCO yang telah menyampaikan penggulungannya. Sekarang telah pukul 1.17 minit, kita telah menggunakan 17 minit waktu rehat Yang Berhormat sekalian. Tapi tak apalah sebab semalam pun dah rehat. Jadi Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.18 minit tengah hari.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Yang Berhormat Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Penggulungan disambung semula. Seterusnya saya mempersilakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Yang Berhormat Puan Speaker, salam sejahtera dan Salam Harapan Johor. Pertamanya saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam penggulungan hari ini.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, baik di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang yang telah membangkitkan beberapa perkara berhubung kait dengan portfolio saya yang saya galas di bawah Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, di dalam Dewan yang mulia ini, sebelum kita menyentuh lebih jauh kepada isu-isu yang melibatkan rakyat, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada rakyat negeri Johor kerana berani bangkit dan melakukan perubahan besar pada Pilihan Raya Umum yang ke-14 lalu. Ia satu detik yang cukup bersejarah buat kita semua. Buat julung kalinya

sejak merdeka, Barisan Nasional menjadi Pembangkang dan buat pertama kalinya juga Kerajaan Negeri Johor diterajui oleh Pakatan Harapan. (Dewan bertepuk).

Terima kasih kepada Rakyat kerana percaya Pakatan Harapan. Kami janji kami tidak akan sama sekali mengecewakan anda semua. Pelbagai program yang pro-rakyat sedang kita rangka dan ada sebahagiannya akan dilaksanakan juga dalam masa terdekat ini. Saya nyatakan dengan tegas di dalam Dewan yang mulia ini bahawa kami di pihak kerajaan akan galas tanggungjawab dan amanah ini sebaik yang mungkin. Kita akan pastikan, kita dapat lakukan lebih baik daripada apa yang pernah BN lakukan sebelum ini!

Untuk pihak pembangkang yang baru, kritiklah kami dengan fakta dan janganlah sekali membangkitkan politik perkauman yang sempit. Kita hendaklah menyahut seruan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor agar rakyat di negeri ini hidup saling hormat-menghormati walaupun berlainan warna kulit, walaupun berlainan agama, agar kita dapat hidup dalam keadaan yang harmoni, aman dan damai. Mulakan era Malaysia baru ini dengan mengamalkan politik matang. Ayuh! Marilah kita semua, tidak kira kerajaan atau pembangkang, tidak kira apa jua bangsa dan agama. Bersama-samalah kita membina semula dan memajukan negeri Johor yang kami tercinta ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, ADUN Kemelah dan ADUN Mengkibol dalam perbahasannya mereka telah membangkitkan beberapa isu mengenai sektor pelaburan di Negeri Johor khususnya berkenaan dengan negeri Singapura.

Sukacita saya maklumkan di sini, Kerajaan Negeri juga mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dengan beberapa persatuan perniagaan di Singapura seperti Singapore Business Federation (SBF) dan Singapore Manufacturing Federation (SMF) untuk menarik pelaburan mereka ke Negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat, saya selaku Exco yang bertanggungjawab ke atas portfolio ini akan mengetuai Misi Pelaburan dan Perdagangan Negeri Johor ke Singapura pada 27 Ogos 2018. Seramai 100 orang peserta dan bakal pelabur dari Singapura akan menghadiri misi pelaburan ini.

Manakala bagi cadangan Yang Berhormat untuk menubuhkan Johor Information Technology and E-Commerce Council bermodelkan Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) di mana SITEC ini lebih kepada membangunkan Selangor sebagai hab perdagangan serantau untuk e-Perdagangan dan untuk meningkatkan ekosistem permulaan di negeri tersebut. Saranan Yang Berhormat ini, kami akan memandang serius dan dikaji dengan teliti oleh pentadbiran ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Sukacitanya juga saya ingin memberi maklum balas kepada persoalan yang dibangkitkan oleh YB ADUN Bukit Permai mengenai Rancangan Kawasan Khas (RKK Kulai Sedenak 2025). YB ADUN Bukit Permai bertanyakan berapa banyak peluang pekerjaan akan dijana hasil pembangunan di kawasan tersebut.

Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, apabila RKK Kulai-Sedenak ini siap sepenuhnya pada 2025, jangkaan penduduk sekitar akan meningkat kepada 83,242 dan akan menjana sebanyak 77,500 peluang pekerjaan. Di mana 70% terdiri daripada Tenaga Mahir, 20% daripada Separa Mahir dan Pekerja Am 10%. Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa rakyat Malaysia akan diberikan keutamaan untuk memenuhi semua sektor yang saya sebutkan sebentar tadi.

Yang Berhormat Puan Speaker, ADUN Kemelah juga ada membangkitkan masalah berkaitan pembangunan infrastruktur utiliti di daerah Segamat. Saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa kerajaan Johor sentiasa menyokong untuk membangunkan Daerah Segamat sebagai kawasan Industri baharu yang telah digariskan sebelum ini. Dalam merealisasikan matlamat ini kemudahan infrastruktur yang lengkap dan berdaya harap adalah asas utama menarik pelabur-pelabur ke Segamat. Dalam Konteks Infrastruktur Bekalan Elektrik.

Pada masa ini bekalan elektrik di kawasan Industri Segamat menerima bekalan elektrik melalui Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Siput yang jaraknya 9km dari kawasan Industri Segamat, di mana kapasiti penggunaan hanyalah 25% daripada kapasiti keseluruhan PMU tersebut. Kos yang tinggi yang perlu ditanggung oleh Pelabur untuk menyalurkan bekalan elektrik mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh TNB sepenuhnya.

Sebagai langkah proaktif, TNB sebagai pembekal elektrik utama di negara ini telah mengadakan beberapa kali perbincangan bersama pihak daerah Segamat dan juga pihak Johor Corporation selaku pemaju kawasan industri Segamat bagi merancang, membangun dan menaik taraf sistem bekalan elektrik. Hasil daripada beberapa siri rundingan tersebut pihak JCorp telah bersetuju untuk menyerahkan beberapa keping tanah bagi tapak pembinaan sebuah pencawang pembahagian utama PPU yang baru, dan seterusnya TNB juga akan melaksanakan pembinaan sebuah PPU baru dengan kos RM30 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh TNB. Jangkaan tempoh untuk menyiapkan PPU ini adalah selama 24 bulan. Maka saya yakin pihak Majlis Daerah Segamat, Jabatan Kerja Raya, Johor Corporation pihak Koridor Utiliti Negeri Johor akan dapat bekerjasama dengan pihak TNB secara erat dalam merealisasikan pelaksanaan dan pembinaan sebuah PPU di Industri Segamat 2, Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, ADUN Panti telah menyentuh isu berkenaan akses Internet yang perlahan di kawasan pendalaman kerana ada sesetengah kawasan pendalaman yang tidak ada langsung akses kepada Internet. Sekali lagi sukacita saya maklumkan kepada Dewan yang mulia ini, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah komited untuk menambah baik liputan jalur lebar di kawasan luar bandar, dari semasa ke semasa. Berbagai-bagai program infrastruktur telekomunikasi luar bandar telah dijalankan oleh SKMM bagi memastikan penduduk luar bandar turut mendapat kemudahan telekomunikasi dan jalur lebar sebagaimana penduduk di bandar.

Sehingga Ogos 2018, sebanyak 26,592 sambungan jalur lebar telah tersedia sepenuhnya di kawasan luar bandar. Manakala 17,756 sambungan jalur lebar masih di peringkat pelaksanaan. Manakala di bawah inisiatif perluasan liputan cellular dan jalur lebar mudah alih yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baru sebanyak 109 buah menara telah siap dibina dan akan beroperasi. Selain itu, 19 buah menara sedang dalam peringkat pelaksanaan di kawasan-kawasan luar bandar, manakala sebanyak 452 buah menara telah di naik taraf kepada perkhidmatan 3G atau 4G dan 124 menara sedia ada masih dalam peringkat penaiktarafan. Pihak SKMM akan sentiasa menjalankan program seumpama ini secara berperingkat bagi memastikan kawasan luar bandar juga mendapat liputan telekomunikasi seiring dengan kawasan bandar.

Seterusnya juga saya ingin memberi respons yang dibangkitkan oleh ADUN Benut berkaitan penyelesaian alternatif berhubung pengurangan takrif air Johor dan penyelesaian kepada gangguan bekalan air di seluruh negeri Johor. Ingin saya sentuh di sini Yang Berhormat, bahawa adalah misi kerajaan Pakatan Harapan dalam polisi air untuk kita memastikan 3 perkara seperti yang kita janjikan. Pertama, kita janjikan kita akan memberi air percuma 10 meter padu kepada golongan sasaran B40. Itu kami telah laksanakan. Kedua adalah juga matlamat kita ataupun kita punya goal untuk memastikan dalam 5 tahun yang akan datang ini, negeri Johor akan dibekalkan dengan air yang bersih, bekalan yang mantap dengan kalau boleh minima gangguan bekalan air. Dan, ketiganya ialah matlamat kita adalah untuk semak semula dan juga kalau boleh turunkan tarif air Johor.

Maka, untuk isu-isu yang dibangkitkan seperti isu pengambilan SAJ, saya hanya nak berkata di sini bahawa itu bukan matlamat kerajaan negeri Johor. Yang penting sekali ialah kerajaan negeri sentiasa memantau rapat dan menyelesaikan apa juga masalah air yang berlaku untuk memastikan bekalan air di Johor adalah bersih daripada gangguan bekalan air. Dan oleh itu, bagi kita yang pentingnya ialah bagaimana kita boleh semak dan memastikan, pertama tarif Johor tidak naik. Kedua, kalau boleh bagaimana kita nak turunkan tarif air ini. Saya faham dari pihak sebelah sana selalu bangkitkan isu, kenapa kita

tidak beli SAJ. Jawapan saya senang saja, sebab itu bukan matlamat kita. Matlamat kita ialah turunkan tarif air, kalau boleh. Kalaulah ada kaedah yang lain yang tidak perlu kita keluarkan dana yang besar untuk beli SAJ, mengapa kita perlu beli satu syarikat yang sekarang nilai pasarannya SAJ Holdings adalah RM1 bilion di pasaran dunia.

Dan, kalau apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Rengit itu, dia kata kita ada 20% dalam SAJ Ranhill. Saya nak sebutkan di sini untuk makluman Yang Berhormat-Yang Berhormat, SAJ Ranhill Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat Sdn. Bhd. ia bukan satu public listing company. Maknanya sesiapa pun faham kalau dia Sdn. Bhd. kita tidak boleh paksa dia jual, dia satu sistem di mana willing buyer, willing seller. Bayangkanlah kalau sekarang kita nak SAJ Ranhill Sdn. Bhd. jual saham mereka kepada kita, dia boleh keluar premium, dia kata saya boleh jual, mungkin 2 ganda, 3 kali ganda, 10 kali ganda. Adakah kita nak beli juga? Dan kalau kita guna duit tu beli syarikat-syarikat tersebut, bukankah dia akan memberatkan lagi hutang-hutang negeri. Oleh itu matlamat kita adalah kurangkan tarif air dan kita sentiasa dalam perbincangan dengan pihak-pihak terlibat seperti SPAN, seperti SAJ untuk keluarkan satu formula bagaimana kita boleh reduce CAPEX bagaimana kita boleh ada untuk memastikan ada kaedah untuk turunkan harga air tarif di Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, di dalam Dewan yang mulia ini juga ADUN Kahang ada sentuh isu berkaitan projek bekalan air di Kampung Orang Asli Sedohok. Untuk makluman Yang Berhormat, dalam tempoh yang terdekat kita akan bekerjasama baik dengan pihak KKLW untuk menyelesaikan masalah ini. Saya telah mendapat makluman daripada pihak SAJ, mereka tidak mempunyai apa halangan untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada kampung-kampung atau di mana sahaja dengan syarat hendaklah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Seterusnya ADUN Machap membangkitkan masalah limpahan air yang berlaku di Simpang Renggam. Ia merupakan satu masalah yang berkaitan dengan isu tapak buang sampah yang boleh menyebabkan limpahan air leachate mengalir masuk ke Sungai Ulu Benut yang merupakan sumber air mentah bagi muka saule Loji Rawatan Air Simpang Renggam. Pelepasan air pecahan dari tapak pelupusan sampah ke dalam sungai adalah di luar kuasa atau bidang kuasa SAJ. Pelepasan air pecahan ini menyebabkan kandungan paras ammonia melebihi daripada 1 miligram per liter sebagaimana piawaian air mentah. Melalui rekod paras ammonia yang pernah melebihi paras 4 miligram per liter di intake Loji Rawatan Air Simpang Renggam, yang bila sampai tahap tersebut terpaksa menutup operasi loji.

Walau bagaimanapun, untuk makluman Dewan yang mulia ini di pihak SAJ dan juga di pihak kerajaan isu-isu operational seperti kualiti air yang rendah sebegini adalah bersifat sementara dan kita dan SAJ bekerjasama sentiasa memantau tindakan ini untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan seawal yang mungkin. Untuk menangani masalah ini kami juga ada meminta agar pihak SAJ lebih kerap bekerjasama dengan pihak JPS untuk melepaskan air daripada Empangan Machap secara berperingkat, mengikut tahap kandungan ammonia yang hadir di dalam air mentah dengan tujuan untuk merendahkan paras ammonia di dalam air mentah melalui kaedah pencairan dilution dan seterusnya loji boleh beroperasi secara normal.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, satu Jawatankuasa Kerja Khas akan ditubuhkan bagi memantau dan memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan. Ahli Jawatankuasa ini akan terdiri daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor (JPS), Syarikat Air Johor Ranhill dan juga SWM Corporation dengan harapan isu-isu di Simpang Renggam ini boleh diselesaikan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat ADUN Sedili ada membangkitkan masalah air khasnya di FELDA Bukit Easter dan Gugusan FELDA Waha dan Bukit Waha di Kota Tinggi. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kawasan-kawasan tersebut menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Lok Heng dan Sungai Sedili Kecil yang merupakan sumber air mentah bagi loji berkenaan.

Ketika musim perayaan kepadatan penduduk menyebabkan permintaan bekalan air meningkat hampir 50% daripada penggunaan pada hari biasa. Keadaan ini adalah disebabkan kehadiran ahli keluarga yang bersama-sama merayakan perayaan di kawasan terbabit dengan jumlah peningkatan sehingga 300%. Bagi usaha jangka masa pendek terutamanya ketika waktu puncak di musim perayaan, SAJ Ranhill telah disarankan untuk memasang pressure reducer valve di beberapa kawasan yang kenal pasti menerima tekanan tinggi supaya sistem bekalan air dapat diimbangkan di waktu puncak termasuk mengawal tekanan air pada waktu malam. Begitu juga dengan menjalankan tanggungjawab sosial dengan penyediaan tangki simpanan individu di beberapa kawasan yang kerap terputus bekalan air, pada musim perayaan yang lepas ini. Bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan untuk jangka masa panjang, kerajaan telah sarankan kepada SAJ untuk merancang untuk membina loji baru yang dijangka akan siap pada tahun 2020.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Maharani pula membangkitkan isu bekalan air di Muar yang memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan negeri. Daerah Muar merupakan rangkaian paip 1,958 kilometer di mana 35% daripadanya terdiri daripada paip asbestos simen yang telah berusia lebih daripada 25 tahun sehingga kini sebahagiannya masih dalam keadaan baik. Pihak SAJ sedang membuat program penggantian paip secara berperingkat dan seterusnya program ini dijangka selesai keseluruhannya hanya menjelang tahun 2025 dengan paip-paip UPVC multilayer, UPVC dan juga paip SUPV. Sistem bekalan air bagi daerah Muar dan juga daerah-daerah lain di reka bentuk untuk menampung permintaan bekalan air semasa dan juga permintaan pada masa-masa yang akan datang.

Komponen-komponen dalam sistem bekalan air tersebut adalah terdiri daripada loji rawatan air, rumah pam, tangki-tangki imbangan dan perkhidmatan dan juga rangkaian 12 paip air. SAJ mempunyai program penyelenggaraan pada komponen-komponen tersebut agar bekalan air dapat disalurkan secara berterusan dengan tekanan yang mencukupi serta kualiti yang tinggi. Untuk makluman, pada masa ini projek-projek yang sedang dilaksanakan di daerah Muar untuk mengatasi sebarang masalah air adalah seperti berikut:

1. Pembinaan Loji Rawatan Air Pagoh Baru berkapasiti 40 juta liter sehari yang bermula Februari 2018 serta pembinaan tangki imbangan Pengkalan Bukit C yang dijangka siap pada bulan September 2019 bertujuan bagi meningkatkan bekalan air di daerah Muar dan juga di kawasan-kawasan sepanjang Jalan Muar, Batu Pahat sehingga Semerah sepanjang Jalan Muar – Yong Peng sehingga Batu 20 Air Hitam dan juga kawasan Pagoh.

2. Kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Bukit Serampang daripada 4.5 juta liter sehari kepada 8 juta liter sehari yang dijangka siap pada Februari pada 2019 bertujuan bagi meningkatkan bekalan keseluruhan Bukit Serampang dan Bukit Kepong. Adalah dimaklumkan bahawa cadangan pembinaan tangki dan rumah pam di Bukit Naning adalah di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Pihak KPLB telah melantik juru perunding untuk mereka bentuk dan telah memanggil tender untuk projek ini. KPLB sedang menunggu kelulusan daripada EPU untuk pelantikan kontraktor. Sekiranya pam dan rumah tangki ini dibina ianya akan dapat meningkatkan tekanan air di waktu puncak dan juga musim perayaan di kawasan Mukim Air Hitam.

Puan Speaker, kerajaan negeri Johor sememangnya memberi perhatian yang serius terhadap pembekalan air di Johor. Ini terbuktilah dengan perjumpaan yang kerap sekarang di antara kerajaan negeri dan operator air SAJ Ranhill sejak kerajaan baru ini ditubuhkan. Selain daripada pemberian air percuma kepada rakyat yang layak seperti yang dijanjikan, kerajaan juga sedang bersama-sama memantau segala perkembangan dan perancangan yang dilakukan oleh SAJ Ranhill, malah kerajaan negeri dan SAJ Ranhill akan melaksanakan beberapa langkah, di antaranya seperti mengkaji struktur tarif dengan pihak berkenaan termasuklah Suruhanjaya Kawal selia Air Udara (SPAN). Kedua, merancang ke arah gangguan sifar atau zero disruption. Ketiga, langkah yang lebih agresif dalam

menurunkan kadar kehilangan air atau non revenue water. Ini semua adalah langkah-langkah yang sememangnya akan menjurus kepada kelestarian atau sustainability air di Johor.

Akhir sekali Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan saya di dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin memohon maaf ke atas sebarang kesilapan atau terlepas pandangan terhadap soalan-soalan mahupun cadangan-cadangan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan segala isu di bawah portfolio saya. Sesungguhnya saya telah sedaya upaya untuk memberikan maklum balas dan jawapan kepada setiap isu yang dibangkitkan. Sekiranya terdapat cadangan atau soalan yang terlepas pandang, tindakan susulan akan diambil oleh Ketua-Ketua Jabatan di bawah portfolio saya. Saya juga ingin akhiri dengan satu pantun Puan Speaker. Bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, kalau tersilap tutur bicara, jemari disusun maaf dipinta. Akhir sekali, Bukit Batu saya mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Seterusnya saya mempersilakan YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum dijawab, saya nak tanya Yang Berhormat Stulang, mana jaket? Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, bismillahirahmannirrahim, Yang Berhormat Timbalan Speaker, alhamdulillah, pada hari ini kita diberikan kekuatan dan kesihatan untuk bersama-sama menyokong perubahan serta pembaharuan. Besar harapan kita semua ianya akan berterusan bagi negeri Johor agar hasilnya dapat dimanfaatkan rakyat Johor. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Speaker kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan Mesyuarat Kedua bagi Penggal Persidangan Pertama, Dewan Negeri Johor yang Ke-14.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, sesungguhnya sesi perbahasan ini mempunyai nilai yang tersendiri kerana kita bukan dipilih untuk berbahas semata-mata tetapi kita dipilih untuk membina harapan rakyat bersama-sama dengan menjunjung amalan demokrasi negara yang dipegang sejak kemerdekaan tahun 1957. Kita telah mengecapi kemerdekaan dan pembangunan yang selari dengan kehendak rakyat serta demi kelangsungan kemajuan negeri Johor. Sesi persidangan perbahasan kali ini adalah istimewa jika diperbandingkan kerana inilah persidangan julung kali di bawah kerajaan Pakatan Harapan Johor dan kita semua juga akan menyambut hari kemerdekaan kali yang ke-61 pada 31 Ogos nanti. Bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di dalam titah baginda yang ke-18 bagi menggalakkan lebih banyak pelabur untuk datang ke negeri Johor kerajaan bersedia menyediakan infrastruktur awam yang lebih baik, dasar yang konsisten dan inisiatif yang baik.

Yang Berhormat Speaker, bagi tujuan memperbaiki urus tadbir jabatan kerja raya dan agensi di bawah pentadbiran saya pelbagai langkah-langkah drastik telah diambil seperti terutamanya rombakan ahli-ahli panel jawatankuasa penilaian tender dan sebut harga, penukaran jawatan secara dalaman dan seterusnya jangka masa pengisytiharan senarai kedudukan kontraktor yang memasuki sesebuah tender atau sebut harga dipendekkan. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya kegiatan manipulasi dokumen. Arahan juga telah diberikan dan dikeluarkan kepada pegawai-pegawai kerajaan, tidak dibenarkan untuk berada di luar pejabat dengan aktiviti yang tidak diperlukan atau dibenarkan. Elakkan mundar mandir atau duduk bersantai di kafeteria atau warung-warung di tepi jalan kerana keadaan ini mencacatkan imej dan reputasi penjawat awam. Seterusnya, kita juga akan melaksanakan pelbagai taklimat atau kursus yang bersesuaian. Ini adalah untuk memperkasakan budaya kerja yang lebih baik, berintegriti dan berkonsepkan kepercayaan kepada Tuhan. Kursus-kursus yang bersifatkan teknikal akan dipertingkatkan lagi untuk tujuan menambah ilmu pengetahuan kakitangan yang berlandaskan perkembangan

teknologi yang terkini. Teknologi terlalu cepat berkembang dan berubah. Kiranya kita cuai dan leka, kita akan terus ketinggalan. Kebajikan para pekerja haruslah juga dititikberatkan. Ini untuk mengelakkan tiada sesiapapun dipinggirkan dan memberi keselesaan untuk bekerja dan secara tidak langsung menggalakkan bertambahnya produktiviti. Seterusnya untuk makluman, kita telah pun melaksanakan sistem tender terbuka. Pegawai kewangan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua jawatan mengenai perkara ini dan dengan itu tercapailah salah satu manifesto Pakatan Harapan di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebagai sebuah kerajaan baru yang menyedari keluhan serta keperluan kontraktor-kontraktor di negeri Johor, kita telah memperkasakan kewujudan Johor Center Of Construction Development atau ringkasannya JCCD. JCCD ini sebenarnya penubuhan oleh Yang Berhormat EXCO yang terdahulu. Usaha beliau diteruskan dan dibuat penambahbaikan serta penyusunan semula. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Benut atas usaha sebelum ini. Selain daripada itu, kerajaan negeri dalam proses membangunkan satu sistem pengumpulan data secara berpusat, data base. Ini akan dilaksanakan secara talian dan diperkenalkan dalam masa yang akan datang. Sistem tersebut mempunyai maklumat-maklumat yang lengkap tentang pendaftaran kontraktor. Sistem perolehan tender atau sebut harga dan rekod-rekod pencapaian kerja kontraktor. Sistem ini bukan hanya diimplementasikan kepada jabatan kerja raya malah juga kesemua jabatan atau agensi yang terlibat yang beroperasi di negeri Johor. Langkah-langkah ini untuk memastikan hanya kontraktor yang berkualiti dan tulen boleh meraih tender dan sebut harga tersebut. Ini adalah bertujuan untuk meminimumkan kes kebarangkalian berlakunya aktiviti menjual projek ataupun aktiviti perniagaan ali baba.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin menjawab dakwaan Yang Berhormat Kahang, kononnya bahawa sejak kerajaan Pakatan Harapan memerintah kontraktor kaum India terus dipinggirkan melalui kerja sebut harga oleh syarikat Infra Desa yang dimiliki 40% sahamnya oleh syarikat KPRJ milik kerajaan negeri. Ingin saya tegaskan di sini perkara ini adalah tidak benar sama sekali. Sebenarnya kita hanya baru ada 2 kerja berskala kecil yang telah dibuat keputusan. Tawaran sebut harga tersebut dibuat pada masa sebelum pilihan raya. Saya ingin memaklumkan pada minggu lepas terdapat beberapa tawaran sebut harga yang baru dan sudah hampir tarikh tutup sebut harga. Yang Berhormat Kahang janganlah bimbang, kerajaan baru Pakatan Harapan akan memastikan kaum India juga diberi peluang meraih kerja-kerja kecil tetapi tiada jaminan untuk kontraktor kroni pemimpin MIC.

Yang Berhormat Puan Speaker, bagi menjawab masalah yang dibawa oleh Yang Berhormat Tanjung Surat, jurutera profesional, memang terdapat 7 pakej kerja menaik taraf jalan dan persimpangan Jalan FT 92 dari Desaru ke Petronas Integrated Petroleum Contract, PIPC. Pakej ini melibatkan 6 syarikat yang berbeza. Maklumat mengenai kosnya sahaja menelan perbelanjaan hampir RM2 bilion. Jadi, betullah keluhan tersebut bahawa progress kerja tidak meyakinkan kerana hanya ada satu sahaja pakej kontraktor yang telah siap sedangkan satu lagi pakej so-so, par saja, dan yang selainnya semuanya lambat, istilah lambat atau lemaulah. Kebimbangan tentang keupayaan syarikat kontraktor yang mendapat kerja ini bukan sahaja dipertikaikan oleh Yang Berhormat Tanjung Surat malah ianya menjadi isu yang hangat di kalangan ahli-ahli Persatuan Kontraktor Negeri Johor. Mereka mempersoalkan, mempertikaikan bagaimana kontraktor-kontraktor yang dikategorikan cap ayam yang kurang rekod kerja bernilai besar diberi peluang mendapat kerja secara reka dan bina pula dan harga ini ditentukan secara rundingan terus. Nama syarikat pun tidaklah popular dan tidak pernah didengar sebelum saya menjawat jawatan EXCO. Didapati alamat 3 buah kontraktor juga dipertikaikan iaitu di Bandar Baru Uda dekat-dekat saja yang terkenal sebagai satu destinasi pusat sewaan lesen kontraktor yang sangat popular. Maaf saya tidak menuding jari kepada EXCO yang lama di Johor atau JKR Negeri Johor kerana saya tahu proses perolehan dan pemilihan diadakan oleh kerajaan pusat. Kalaulah sedemikian rupa, tak payah jadi kontraktor jadi broker maut pun boleh kaya. Dari broker maut boleh beli gelang tangan, boleh beli macam-macamlah, beg tangan mahal pun boleh. Kalau kita ada duit macam gitu jadi broker maut kita boleh belikan isteri kita tiara eh. YB Sungai Balang tahu tiara? Tiara ini macam crown boleh pakai kat rumah ambil gambar.

Yang Berhormat Puan Speaker, selama hampir seminggu sidang perbahasan dijalankan, banyak permasalahan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat kawasan menuntut peruntukan untuk membina jalan baru, menaik taraf jalan, pemasangan lampu jalan, permohonan pembinaan jambatan, pembinaan speed breaker dan bermacam-macam lagi berkaitan dengan jalan. Kami faham hasrat yang baik Ahli-Ahli Yang Berhormat semua adalah untuk rakyat kawasan masing-masing. Namun begitu, kita mempunyai mekanisme untuk dipertimbangkan yang mana satu yang perlu diberikan keutamaan mengikut bajet yang kita ada. Sudah tentu keselamatan nyawa rakyat lebih diutamakan. Oleh yang sedemikian, jalan-jalan menjadi punca berlakunya kehilangan nyawa akan diberikan keutamaan. Dasar ini, dasar meletakkan keutamaan ini yang tidak dipolitikkan. Bolehlah memberi salam gembira kepada Yang Berhormat Semarang tetapi tak ada pula, dia tak boleh gembira ini hari.

Atas dasar rasa tanggungjawab ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyatakan hasrat kerajaan Johor untuk memohon bajet tambahan bagi kerja-kerja menaik taraf Jalan Kluang ke Batu Pahat, FT 50 kepada Menteri Kewangan semasa kunjungan rasmi menteri pada 29 Julai yang lalu. Jawapannya amatlah positif dan sama-samalah kita mendoakan agar ianya menjadi kenyataan. Sebenarnya Yang Berhormat Parit Raja dan Yang Berhormat Mahkota pun boleh tumpang senyum gembira sebab lalu kawasan dia. Dan jangan lupa kalau dapat potonglah kambing untuk Ahli Dewan semua.

Yang Berhormat Speaker, bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat permohonan yang tidak dapat dipenuhi, kami mohon maaf sebab kita punyai kekangan bajet. Menurut rekod lama kerajaan negeri hanya memperuntukkan lebih kurang untuk pembangunan RM150 juta dan untuk pembangunan bajet daripada pusat lebih kurang RM300 juta lebih. Ini bermakna kita perlukan bajet tambahan untuk kerja-kerja khas. Di sini kita perlukan pertolongan dari kerajaan pusat. Kita kena faham bahawa kerajaan persekutuan juga kekurangan dana yang cukup untuk membantu nanti kalau saya cakap, mestilah sebut, ai, ini biasalah, alasan. Tapi ingat, kita kena fahami semasa pemimpin Pakatan Harapan membuat manifesto dan bajet Pakatan Harapan, kami bersandarkan angka-angka pendapatan negara yang telah diberikan oleh mantan Menteri Kewangan. Kesilapannya, tanggungan hutang negara yang perlu dibayar disorokkan terutama melalui syarikat IMDB. Setakat ini negara terpaksa membayar RM7 bilion dan hutangnya akan mencecah RM50 bilion tetapi berbayar secara berperingkat. Dulu kata hutang IMDB tidak pakai duit rakyat, siapa yang menipu? Kita kena tipu, rakyat kena tipu, Yang Berhormat di sana pun kena tipu. Mana kita tak kena tipu? Kes ini tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat. Dalam kabinet pun tak boleh dibincangkan. Demokrasi apa namanya?

Berapa orang menteri kabinet telah menjadi mangsa termasuklah Yang Berhormat Gambir merangkap Ahli Parlimen Pagoh. Bayangkahlah, bila sebuah siasatan dijalankan dan serbuan ke rumah-rumah mantan Perdana Menteri, barang-barang kemas, beg tangan, aksesori wanita yang terlalu mewah bernilai lebih RM1 bilion dijumpai, kalau menabung dari kecil sampai umur 1,000 tahun pun belum dapat nilai tersebut.

Yang Berhormat Puan Speaker, bagi memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan Negeri Johor dalam masa 5 tahun iaitu salah satunya ialah memperbaiki kualiti dan rangkaian pengangkutan awam. Kerajaan sangat komited terhadap bidang pengangkutan bas awam, teksi, kereta sewa, feri penumpang, kereta api dan kapal terbang. Sistem teksi e-Hailing akan diperkenalkan untuk memastikan perkhidmatan teksi mampu bersaing dengan perkhidmatan Grab.

Timbalan Speaker

Ya?

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Sistem teksi e-Hailing akan diperkenalkan untuk memastikan perkhidmatan teksi mampu bersaing dengan perkhidmatan Grab. Begitu banyak perbincangan dan sesi dialog terbuka telah diadakan antara PAJ dengan pemandu teksi dan juga saya sebagai EXCO. Sebenarnya

kalau ikut maklumat dia cakap, sayalah EXCO pertama yang berani berdepan dengan, berdialog dengan Persatuan Pemandu Teksi.

Satu tabung kebajikan untuk pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa akan dilancarkan bagi membantu sedikit kebajikan mereka.

Bas harapan akan berperanan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar dengan sistem kereta api landasan berkembar serta stesen-stesen jajaran sistem yang baru yang sedang dalam kajian awal untuk menggantikan sistem BRT telah dirancang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, projek landasan berkembar akan diteruskan dengan cadangan penambahan 3 buah stesen baru dari Senai iaitu Senai, Impian Emas dan Stadium Larkin bagi membolehkan perkhidmatan kereta api komuter dari Senai ke Johor Central. Bandar-bandar baru ini akan diwujudkan di setiap stesen ini yang akan memberi peluang pemilikan kepada generasi muda dan mereka-mereka yang masih belum memiliki rumah.

Pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan diberi keutamaan pembinaannya di setiap bandar-bandar baru ini. Projek ini akan memberi impak ekonomi yang besar kepada negeri Johor.

Satu kompleks bersepadu di stesen kempas dicadangkan melibatkan kereta api, bas ekspres, teksi, kereta sewa, pusat membeli belah dan pusat komersil akan turut dibina. Cadangan ini perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan pusat yang melibatkan “proses swap” tanah dengan mengalihkan operasi stor, maintenance KTMB dipindahkan ke Tanah di Kawasan Layang-Layang ataupun Mengkibol.

Yang Berhormat Tuan Speaker, projek RTS akan terus dikekalkan dengan cara perbelanjaan yang berkhemah, di mana telah menelan belanja RM1.4 Bilion untuk kerja infrastruktur dan pembelian gerabak serta sistem signal. Kos keseluruhan dianggarkan lebih kurang RM4 bilion.

Yang Berhormat Tuan Speaker, melihat kecemerlangan ekonomi negara Singapura yang tiada hasil bumi, ekonomi mereka bergantung kepada kecekapan urus tadbir dan juga pelabuhan-pelabuhan yang dibina. Kerajaan kita juga mempunyai 3 buah pelabuhan yang tidak kurang kemudahan asasnya untuk bersaing.

Asas persaingan sudah tentunya melibatkan kualiti dan kecekapan pengoperasian semua pelabuhan tersebut. Menyedari situasi sebegini rupa, kerajaan mengambil pendekatan untuk sama2 terlibat dalam usaha untuk memperkasakan operasi pelabuhan kita.

Beberapa siri taklimat dan mesyuarat bagi tujuan mengenal pasti masalah serta memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil secara jangka panjang dan jangka pendek.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mutu perkhidmatan kereta api kargo yang dikendalikan oleh KTMB perlulah dikemas kini dan di naik taraf bagi menghubungkan ketiga-tiga pelabuhan tersebut. Isu hal kelewatan kepala kereta api lokomotif yang kerap rosak perlu ditangani untuk memastikan kargo tersebut sampai ke destinasi mengikut jadual asalnya. Apabila kelewatan ini berlaku, kargo–kargo tersebut tidak dapat di loading ke kapal pada waktu ditetapkan. Akhirnya tuan punya syarikat kargo tersebut menanggung kerugian dan hilang kepercayaan untuk menggunakan perkhidmatan tersebut. Mereka memilih pengangkutan lori sebagai jalan alternatif. Ini mengakibatkan Lebuh raya Pasir Gudang dipenuhi oleh lori– lori yang tidak sepatutnya.

Kejadian ini juga mengundang risiko berlakunya kemalangan ngeri disebabkan pemandu2 lori tersebut mengejar masa dan trip. Kos penyelenggaraan lebuh raya pun bertambah disebabkan kehadiran lori–lori berat tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mutu perkhidmatan lapangan terbang di Senai akan terus dipantau dan diperhalusi dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Senai.

CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang menjadi pintu masuk ke negeri Johor terus diberikan perhatian melalui Jawatankuasa Khas Pemantauan yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Yang Berhormat Stulang dan Yang Berhormat Perling. Isu kesesakan dapat diminimumkan melalui perlaksanaan kertas– kertas cadangan termasuk mewujudkan satu agensi tunggal yang mengawal keseluruhan aktiviti kedua-dua kompleks ini. Agensi tunggal ini akan diberi peranan untuk mengarah dan menyelaras kesemua aktiviti dan jabatan yang beroperasi di sini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, aktiviti di Perairan Negeri Johor yang selama ini dipantau oleh Jabatan laut Wilayah Selatan, juga diberi perhatian yang agak serius. Kerajaan akan membuat kertas-kertas cadangan untuk mengutip cukai daripada segala aktiviti yang dijalankan di dalam kawasan 3 batu nautika termasuklah aktiviti STS (Ship to Ship Transfer) dengan izin, Bunkering, Fresh Water dan sebagainya bagi tujuan penambahan kutipan jenis hasil yang baru. Sebuah jawatankuasa khas turut ditubuhkan dan diketuai oleh Yang Berhormat Pekan Nenas.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan juga komited memastikan kemudahan infrastruktur untuk penganjuran SUKMA 2020 ini berjalan lancar. Lawatan kerja telah diadakan bagi memantau progress projek dan segala laporan terus kepada saya.

Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi merancakkan aktiviti ekonomi pelancongan di daerah Mersing, Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar telah mengumumkan satu cadangan untuk membina sebuah landasan kapal terbang. Pemilihan daerah ini menunjukkan keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak terlalu memikirkan aspek kepentingan politik sahaja. Seperti sedia maklum YB kawasan ini diwakili oleh Adun Bebas dan Adun Barisan Nasional.

Yang berhormat Tuan Speaker, keputusan PRU yang lalu haruslah diperhalusi dan dijadikan sebagai iktibar bagi kedua dua pihak parti kerajaan dan pembangkang. Yang diberi kuasa janganlah lupa asal usul kita, yang kalah haruslah bermuhasabah diri, dan pegawai-pegawai awam perlulah mengambil pengajaran dan tindakan yang positif dari sejarah ini.

Akhir kata, marilah kita sama–sama membina sebuah bangsa dan tamadun yang hebat khasnya rakyat Johor. Hidup hanya sementara, takutlah kepada Tuhan, Allah dan percayalah tentang wujudnya hari pembalasan. Segala yang baik dibalas dengan baik dan yang mungkar akan menerima hukumannya. Salam harapan Rakyat Johor. Saya nak mengakhiri dengan pantun. Selalu abang saya berpantun, hari ni kali pertama saya nak berpantun. (Dewan ketawa).

Timbalan Speaker

Ha, sila, sila.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Boleh ya Yang Berhormat? Daun kari daun keladi, tiru sikit yang tadi. Jangan lari, ada 4 tahun lagi. Saya mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Saya menjemput Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Ahli-Ahli Yang Berhormat, salam sejahtera, salam Perpaduan dan salam Harapan. Saya bersyukur kerana berpeluang untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan hari ini.

Puan Speaker, ucapan penggulungan saya ini merangkumkan ucapan penggulungan untuk Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan. Saya juga akan menjelaskan beberapa perkara penting yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Kita akan meneliti dan mempertimbangkan dengan sewajarnya semua pandangan, teguran dan cadangan-cadangan yang dikemukakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang menyentuh dan bangkit isu-isu modal insan, kepenggunaan dan lain-lain perkara di bawah tugas saya. Tanpa membuang masa, saya terus jawab soalan-soalan yang diajukan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Benut membangkit isu peluang pekerjaan 200,000, bolehkah ia dapat direalisasikan? Memandangkan beberapa projek besar diberhentikan.

Yang Berhormat Puan Speaker, pelbagai projek mega dalam peringkat pembinaan di Johor ini, di unjur menyumbang limpahan ekonomi secara berterusan kepada Johor untuk beberapa tahun akan datang termasuklah peluang pekerjaan. 200,000 peluang pekerjaan bukan sekadar angka yang diangkat tanpa di nilai dan dikaji. Ratusan ribu peluang pekerjaan, lonjakan nilai hartanah, pemindahan teknologi dan kemasukan industri berdaya maju adalah limpahan manfaat bakal dinikmati rakyat Johor antaranya menerusi projek Forest City, Iskandar Puteri, Pengerang, Pontian, Mersing dan banyak lagi.

Pelaksanaan projek mega di Forest City ini adalah pemangkin yang menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi di bahagian barat daya Johor. Antara kemajuan yang sedang rancak berlaku di Forest City ialah pembangunan resort golf bertaraf antarabangsa, hotel bertaraf lima bintang dan unit rumah. Selain daripada Forest City, projek di Iskandar Puteri ini masih diteruskan dengan aura pembangunan pintar dan hijau dapat dirasai. Iskandar Puteri melambangkan jiwa baru dalam era pemodenan Johor hari ini, bukan sahaja menjadi bandar raya maju, moden dan terbaik malah simbol ingatan berkekalan rakyat kepada sejarah Johor.

Pada bulan Julai yang lalu, saya bersama Unit Swadaya Insan Negeri Johor telah mengadakan sesi lawatan di Medini 7 bagi melihat lebih dekat perkembangan pembangunan yang diuruskan tadbir oleh i2m Ventures Sdn. Bhd di bawah program GBS ISKANDAR. Sewaktu sesi perbincangan telah dimaklumkan kepada saya, terdapat empat (4) syarikat baru akan bertapak di sini dengan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti. Untuk jangka masa 4 atau 5 tahun ke depan lebih kurang 14,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan hanya di Iskandar Puteri tidak termasuk kawasan lain di seluruh Johor. Pada tahun ini juga, pada bulan Jun 2018, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah merasmikan pelancaran Medini 9 yang merangkumi bangunan pejabat premium 21 tingkat yang sudah pun mempunyai syarikat penyewa di antaranya Deluxe Game, DHL, Fujikura dan banyak lagi.

Kemudian kita lihat pula di Pengerang, yang dahulunya sebuah kawasan perladangan dan kampung nelayan. Kini membangun dengan pesat dengan adanya projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). Pembangunan PIC bukan sahaja memberi kesan menyeluruh di kawasan itu, malah limpahan ekonomi hiliran kepada komuniti setempat. Kemudian, pembangunan Desaru Coast sehingga Tanjung Balau berkaitan projek pelancongan bertaraf antarabangsa dengan jenama terkenal kini sedang rancak berlaku. Antara pembinaan Hotel Anantara, Hotel Hard Rock Cafe, Desaru Coast Adventure Water Park dan pelbagai lagi. Bagi fasa pertama pembangunan ini bakal membuka peluang pekerjaan lebih kurang 1,700 dan keseluruhannya ialah 4,000 menjelang tahun 2021. Dan saya sendiri akan turun melihat perkembangan pembangunan di Desaru ini pada September nanti dan akan berkongsi kepada tuan puan yang berbahagia bagaimana dan setakat mana progres yang berlaku di sini. Malah, jika kita melihat perkembangan yang berlaku di Johor dengan percambahan pembangunan mega pusat membeli belah seperti Paradigm Mall, Mid Valley SouthKey MegaMall yang sedang dibangunkan, Bangunan Capital 21 yang mempunyai

taman tema tertutup yang terbesar di Asia Tenggara. Ini bukan sahaja menjanjikan keseronokan malah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Kita sebagai kerajaan negeri bukan sahaja bercakap kosong ataupun menyatakan sesuatu yang mustahil untuk dicapai dek akal, apatah lagi sekadar berpeluk tubuh. Namun gerak kerja ke arah mencapai objektif sasaran 200,000 peluang pekerjaan yang sedang diperhalusi. Di negeri Johor ini, Unit Swadaya Insan Negeri Johor merupakan satu unit yang bertanggungjawab bagi menguruskan hal-hal berkaitan pembangunan sumber manusia di negeri ini khususnya. Oleh itu, untuk makluman YB Puan Speaker, saya, Unit Swadaya Insan Negeri Johor dan agensi-agensi berkaitan telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi menghalusi gerak kerja ini. Beberapa inisiatif yang akan dipraktikkan telah ditetapkan dan akan di maklumkan secara umum pada masa terdekat ini. Kerajaan Pakatan Harapan Johor juga bercadang untuk memajukan Mersing seperti yang diberitahu tadi oleh EXCO Kerja Raya. Oleh sebab projek ini kita pun harap sebanyak 10,000 pekerjaan di bidang pelancongan dan juga service aircraft di bidang itu kita harap kita boleh mewujudkan 10,000 pekerjaan. Dan juga mulai 1 Januari 2019, Jabatan Laut Wilayah Selatan akan menguatkuasakan satu undang-undang di mana hanya kapal-kapal yang berdaftar di Malaysia sahaja boleh beroperasi di Malaysia. Ini memberikan peluang pekerjaan yang baru iaitu lebih kurang 6,000 pekerjaan. Hal ini adalah kerana terdapat syarat bahawa hanya pekerja tempatan yang boleh bekerja di atas kapal-kapal tempatan. Selain daripada itu, manifesto Pakatan Harapan 5 tahun pun ada tulis bahawa satu koridor Johor Utara akan diwujudkan di mana peluang pertanian, penternakan agro-tourism boleh dibina dan ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada pemuda-pemudi di negeri Johor.

Selain daripada itu, EXCO-EXCO lain serta kerajaan negeri Johor bersama Menteri Besar juga berusaha untuk menarik pelaburan teknologi tinggi. Secara tidak langsung kita menjangkakan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti yang diadakan ini juga akan menarik semula warga Malaysia yang bekerja di Singapura untuk bekerja di negeri ini sebagai yang menjadi kebimbangan Yang Berhormat Benut. Usaha untuk menarik semula mereka yang bekerja di Singapura ini memang sentiasa dipandang kritikal oleh kerajaan negeri Johor. Termasuklah isu brain drain yang dibawa oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang. Tidak dinafikan penghijrahan anak-anak muda ke bandar-bandar besar seperti Singapura dan Kuala Lumpur memperoleh peluang pekerjaan yang lebih lumayan telah menimbulkan isu brain drain di kawasan-kawasan luar bandar seperti Pontian.

Potensi industri setempat perlu dikukuhkan dahulu sebelum peluang pekerjaan dapat disediakan. Walaupun pada dasarnya kita harapkan belia-belia kita yang boleh dilatih mahupun sudah bekerja dapat memindahkan ilmu dan pengetahuan mereka ke tempat asal mereka. Ekosistem modal insan itu perlu diwujudkan dahulu supaya dapat mengimbasi keperluan mereka untuk berpindah ke kawasan tersebut. Secara umumnya yang saya boleh kongsikan secara ringkas ialah kita pun ada nampak lebih kurang 100,000 pekerjaan yang sudah ada dianggarkan tapi usaha-usaha lain selama 5 tahun kemudian harap 100,000 pekerjaan lagi boleh diwujudkan khususnya pekerjaan berkualiti yang akan diwujudkan ini diselidik secara holistik dan terperinci untuk memastikan penghasilan peluang pekerjaan yang berpotensi dan berkualiti tinggi. Selain daripada itu, kita juga berhasrat untuk memperkasakan lebih banyak program latihan yang melibatkan big data processing dan pembangunan bakat digital selari dengan pembangunan industri negeri Johor ke arah Revolusi Industri 4.0.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Kahang telah menanyakan mengenai usaha kerajaan negeri Johor dalam membawa suara hati Johor berkaitan isu pekerja asing di peringkat kerajaan Persekutuan. Sidang Dewan sudah pun maklum bahawa peralihan pentadbiran kerajaan pada bulan Mei yang lalu memperlihatkan kebanyakan prosedur dan sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu kini disemak dan dikaji semula bagi memperlihatkan keberkesanannya. Begitu juga dengan Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing yang dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini telah pun diberhentikan seketika sebagaimana yang dimaklumkan oleh wakil Kementerian Dalam

Negeri di dalam Mesyuarat Task force Pengurusan Pekerja Asing Negeri Johor pada bulan lepas. Manakala satu Jawatankuasa Khas pula ditubuhkan bagi mengkaji pengurusan pekerja asing termasuklah isu kemasukan pendatang asing tanpa izin, PATI di negara ini.

Cadangan dan idea sedang ditimbangkan dan semalam pun Perdana Menteri ada mengeluarkan kenyataan mengenai pekerja asing. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, kuasa mengurus isu pekerja asing dipertingkat kerajaan negeri hanya terletak kepada pihak PBT sahaja. Seterusnya kita telah mendapatkan persefahaman dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor untuk bersama-sama menggembleng usaha memastikan pihak PBT melaksanakan fungsinya sebagai sebaiknya untuk membanteras isu-isu penempatan pekerja asing di kawasan masing-masing. Kerjasama dan komitmen daripada semua 16 PBT negeri Johor dijangka akan digabungkan dan dibawa dalam bentuk resolusi kerajaan negeri Johor kepada kerajaan persekutuan sebagai usaha sama menyokong usaha kerajaan baru mengatasi isu lambakan pekerja asing termasuklah PATI ke dalam negara ini. Kita harapkan hubungan sinergi bagai dakwat dengan kertas di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan ini dapat meningkatkan kesejahteraan di kalangan rakyat Malaysia dan rakyat negeri Johor secara khususnya.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Kahang dan Yang Berhormat Tiram juga membangkitkan isu kontraktor India bagi kontrak-kontrak kecil. Setakat pengetahuan kerajaan Pakatan Harapan Johor, tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh kerajaan pusat untuk berhenti kontrak-kontrak kecil kepada kontrak-kontrak masyarakat India. Saya sesungguhnya percaya bahawa ini adalah merupakan salah faham dan kejahilan segelintir pegawai di Pejabat Pendidikan di daerah-daerah tertentu. Saya telah pun membawa perkara ini kepada perhatian Menteri Pendidikan dan kontrak-kontrak bagi sekolah-sekolah adalah di bawah kerajaan pusat dan kami harap perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dengan outcome yang positif.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Kahang dan Tiram juga membangkit isu tempat upacara akhirat di Pasir Gudang. Mengenai soalan berkenaan tempat upacara akhirat di Tanjung Langsat Pasir Gudang, saya ingin menyatakan di sini bahawa semuanya adalah teratur dengan tanah upacara akhirat tersebut. Saya telah pun mengadakan satu perjumpaan dengan YDP Pasir Gudang dan bincangkan perkara ini. Satu perjumpaan juga diadakan dengan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian mengenai isu ini dibawa ke Mesyuarat MMK. Sekarang hanya kelulusan MMK dinantikan. Perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan projek ini akan diteruskan.

Yang Berhormat Penawar juga bangkit isu berkaitan dengan peluang pekerja asing dan pagi tadi saya sudah pun jawab mengenai isu-isu pekerjaan wanita.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Penawar juga merujuk kepada kos isu kos sara hidup yang akan meningkat selepas SST diamalkan. Terlebih dahulu saya ingin menyatakan di sini bahawa di bawah SST hanya 6,400 barang sahaja akan dikenakan cukai. Manakala 11,197 barang telah dikenakan cukai di bawah GST. Mengikut CPI Basket, 60% barangan dikenakan cukai di bawah GST manakala hanya 38% barang sahaja dicukai di bawah SST dan lagi pun di bawah GST, kerajaan anggarkan kutipannya ialah RM44 bilion, manakala SST pula anggarannya ialah RM23 bilion sahaja. Ini menunjukkan bahawa rakyat akan bayar cukai yang lebih kurang hanya, lebih kurang 50% sahaja. Jadi, ini menunjukkan bahawa rakyat ada lebih wang di tangan mereka untuk belanja. Jadi, isu kos sara hidup tak akan naik.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Penawar juga menyentuh isu berkenaan perancangan mengenai kos sara hidup selepas SST. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan harga secara berterusan dan tindakan penguat kuasa di atas premis-premis perniagaan di seluruh negara untuk memastikan tiada aktiviti manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.

1. Pegawai-pegawai penguat kuasa akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap para peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dalam kadar yang tidak munasabah.

2. Dengan gerakan pemantauan harga bagi barangan dan perkhidmatan secara intensif di seluruh negara sejak 24 Mei 2018 bagi melihat perubahan harga sebelum ini dan selepas peralihan iaitu GST 6% kepada 0%.

3. Melaksanakan Gerak Gempur Operasi Catut 5.0 melalui operasi penguatkuasaan di atas sektor peruncitan di seluruh negara secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan pihak PBT di bawah bidang kuasa masing-masing.

Yang Berhormat Penawar juga bangkit isu penipuan harga. Yang Berhormat, Yang Berhormat Penawar juga mengutarakan soal berkenaan kawalan harga dari segi penipuan harga. Untuk makluman sidang Dewan, kementerian telah mengatur beberapa langkah bagi menangani isu harga barang serta kawalan dari segi penipuan harga seperti berikut :

1. Melakukan penguatkuasaan tegas di bawah Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga atau pencatutan melalui peraturan-peraturan kawal harga dan anti pencatutan 2018 yang mula dikuatkuasakan pada 6 Jun 2018.

2. Melaksanakan tindakan penguatkuasaan pencatutan di bawah OPS Catut yang telah dimulakan pada 1 Januari 2015 hingga kini meliputi seluruh rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan.

3. Mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, Akta yang dikuatkuasakan dengan tegas di atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara untuk mendapatkan penjelasan.

4. Menguatkuasakan perintah kawalan harga, penandaan harga oleh penjual runcit 1993 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual atau mempamerkan senarai harga.

5. Menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas secara berkala di seluruh negara di bawah program pemantauan harga oleh Pegawai Pemantau Harga Kementerian.

6. Mengadakan Libat Urus, engagement untuk memberi penjelasan kepada peniaga-peniaga.

7. Menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga untuk diambil tindakan oleh kementerian.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Kahang dan Yang Berhormat Parit Raja juga menyoal mengenai pembangunan di Tabung Latihan Kemahiran Johor (TLKJ). Usaha kita untuk meningkat kerajaan negeri ini untuk menjadikan negeri Johor antara negeri yang berpendapatan tinggi menyaksikan wujudnya pelbagai inisiatif yang melibatkan kemasukan aktiviti ekonomi yang tidak hanya tertumpu di pusat bandar tetapi di seluruh daerah di negeri Johor.

Hasil daripada kemajuan pesat ini, maka berlaku peningkatan permintaan tenaga kerja mahir. Pekerjaan berkemahiran tinggi amat diperlukan terutamanya dalam sektor pembuatan, ekonomi, pelancongan dan logistik. Untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, kita memerlukan ramai tenaga kerja mahir. Negara maju seperti

Jerman memiliki 82% pekerja mahir dan Singapura pula mempunyai 52% pekerja mahir. Malaysia pula mempunyai 28% pekerja mahir. Jadi kita sangat di belakang.

Inisiatif lain masih lagi kita teruskan, demi manfaat belia Johor terutamanya seperti Tabung Latihan Kemahiran Johor yang telah memperuntukkan sebanyak RM5 Juta untuk melatih tiga kumpulan khusus iaitu warga FELDA, belia India dan masyarakat umum. Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Kahang serta kegusaran daripada Yang Berhormat Pasir Raja, izinkan saya berkongsi status pelaksanaan inisiatif program ini.

Sejak pengambilalihan pentadbiran baru, sebanyak 30 kursus latihan kemahiran telah diluluskan dan latihannya telah pun bermula pada akhir Jun yang lalu dan masih dilaksanakan sehingga kini di institusi-institusi latihan terpilih. Dijangka 760 orang akan dilatih dan ditempatkan di dalam sektor pekerjaan yang pelbagai pada akhir September ini antaranya seperti pengimpal, juruteknik, pelayan hotel, penyambut tetamu, pengendali bahan dan jurumesin. 30% daripada jumlah tersebut merupakan belia India, 58% pula merupakan generasi FELDA dan selebihnya adalah masyarakat umum.

Peratusan belia India ini dijangka naik pada akhir bulan ini bagi kelulusan terakhir pelaksanaan program ini. Walaupun pencarian peserta belia India dan FELDA untuk menyertai program sebegini menemukan kekangan dari segi kekurangan minat dan attitude mereka pada awalnya, kita berjaya tempuhinya.

Baru-baru ini, Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Malis Belia FELDA Malaysia bagi menggalakkan latihan kemahiran di kalangan belia FELDA. Namun, pada masa akan datang kita bukan sahaja tumpukan kepada 3 kumpulan sasar tersebut, kita akan kembangkan lagi peluang melatih dan menempatkan peserta ini kepada kumpulan-kumpulan terpinggir seperti Orang Asli bagi memastikan kesaksamarataan peluang bekerja diberikan kepada semua rakyat Negeri Johor.

Setakat ini direkodkan melalui program ini, gaji yang ditawarkan kepada para peserta oleh majikan adalah RM1,600 walaupun pada asalnya ditawarkan pada nilai yang minima iaitu RM1,000 sahaja. Para majikan telah mengenal pasti kebolehan dan kemahiran peserta yang telah dilatih melalui program ini dan menawarkan gaji yang lebih sebagai ganjaran yang setimpal dengan kemahiran yang ada. Sokongan daripada pihak majikan atau industri ini membuktikan sokongan industri dengan pendekatan yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri dalam menghasilkan pekerja berbakat selari dengan keperluan industri atau dengan izin, industri driven talent.

Timbalan Speaker

YB EXCO panjang lagi ke?

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Ya. Ya. Saya sambung. Dalam hal ini iaitu tabung, kita dapat sambutan baik daripada pihak industri dan kita akan sambung program ini. Ok.

Untuk makluman YB Puan Speaker, pelaksanaan Siri 1 dan 2 telah melibatkan penyediaan latihan dari Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor dan Johor Skills Development Centre, BETC Skills Academy, Kolej Kemahiran Mentari dan Kolej Kemahiran Pelangi yang telah bermula pada bulan Julai 2018 yang lalu. Terdapat lebih kurang 16 kursus latihan kemahiran yang ditawarkan. Antaranya ialah Pemasangan Pendawaian Bangunan, Penyelenggaraan Peralatan Elektrik, Electrical Motor Control Integrated with PLC, Industrial Automation System & Maintenance dan banyak lagi. Kita juga telah bersedia bagi pelaksanaan latihan kemahiran untuk Siri 3. Ok.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Kahang juga telah membangkitkan isu tenaga asing. Yang Berhormat, pekerja asing adalah pekerja adalah satu gejala di seluruh dunia. Semua negara yang membangun, yang sedang maju ada masalah ini iaitu pekerja asing. Di sini, di mana penggerakan buruh begitu luas dan begitu cepat. Jadi, susah mahu

mengawal pergerakan mereka. Yang penting ialah pekerja ada dokumen. Mereka bukan masalah, sebab mereka bila datang, kita ada dokumen, mereka ditempatkan dengan , di syarikat besar. Mereka ada kerja. Kemudian lepas tempoh dia habis, dia dihantar balik. Tetapi yang masalah adalah PATI, pekerja asing tanpa izin.

Yang Berhormat Puan Speaker, ini sangat serius, perkara ini iaitu sebenarnya kerajaan Malaysia tidak ada angka yang tepat berapakah pekerja asing tanpa izin di Malaysia. Ada beberapa anggaran dan di Johor juga puratanya ialah 833,000 warga asing tanpa izin, di Johor sahaja iaitu 73% jumlah pekerja asing adalah yang kerja di Johor tidak ada izin. Begitu serius perkara ini. Jadi Yang Berhormat Puan Speaker, perkara ini kena di handle dengan keseluruhan, satu jabatan sahaja tidak boleh handle ini isu. Ini isu terlibat dengan sebenarnya gaji yang kurang. Inilah perkara yang penting tidak menarik pemuda pemudi tempatan. Jadi, untuk menarik pemuda pemudi tempatan untuk minat dalam perkara, bidang-bidang ini ialah gaji minimum mesti tinggi. Oleh sebab itu, kerajaan pusat pun meninggikan secara berperingkat gaji minimum kepada RM1,500.00. Kalau gaji kurang, pemuda pemudi tempatan tidak berminat. Dan, kita kena bergantung dengan pekerja asing. Inilah masalah kita Puan Speaker. Jadi, saya ada banyak details, tapi saya skip ini details semua dan saya pergi ke satu lagi isu.

Satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang adalah mismatch dengan pembekalan pekerja dengan syarikat-syarikat. Oleh sebab itu, di bawah kerajaan Pakatan Harapan pendekatan adalah kita kerja erat dengan private sector. Kita buat satu konsep iaitu private public partnership iaitu berinteraksi dengan rapat dengan industri untuk mengetahui kehendak dan keperluan industri melalui mengadakan simposium, perbincangan, forums, dialogs dan bermacam-macam. Melalui interaksi-interaksi ini, kita akan dapat tahu, arah tujuan Industri dan apakah isu-isu yang timbul berkenaan tenaga kerja di Johor. Juga akan dapat tahu berkenaan preference of industry, dengan izin.

Untuk mengurangkan mismatch labour supply dan labour demand, kita akan memperkenalkan beberapa sistem seperti program latihan separuh kursus, di ILP di mana pelatih atau pelajar di ILP akan terdedah kepada industri, separuh kursus mereka. Dan dengan itu,

Timbalan Speaker

YB EXCO, you rasa you boleh habis dalam 5 minit?

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Ok. 5 minit. Jadi, banyak lagi perkara, saya ingat ramai orang pun tahu masalah-masalah ini. Jadi, dengan ini saya juga beritahu bahawa Unit Swadaya yang diwujudkan oleh kerajaan lepas seperti yang di titah oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, yang baik kita teruskan dan majukan, Oleh itu, kami akan teruskan usaha untuk memartabatkan Unit Swadaya untuk mengendalikan semua cabaran-cabaran dalam bidang modal insan. Dengan ini saya mengakhiri ucapan saya. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Saya rasa nanti EXCO Perumahan agak, dia penggulungan pun panjang juga. Jadi, saya tangguhkan persidangan ini selama 15 minit untuk segarkan suasana Dewan.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3:45 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 4:00 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya menjemput YB Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Selamat petang, salam sejahtera, salam harapan kepada Ahli-

Ahli Yang Berhormat sekalian. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker atas peluang yang diberikan kepada Skudai untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan atas rundingan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Johor kerana berkenan berangkat dan mencemar duli seterusnya merasmikan Mesyuarat Kedua (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14.

Dengan penuh insaf saya berada di sebelah sini, menggalas amanah dan tanggungjawab bergulung dalam Dewan yang mulia pada petang ini. Lebih-lebih lagi, bertentangan dengan saya di sebelah sana terdiri daripada kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang adanya merupakan mantan Exco Kerajaan Negeri terdahulu..

Sejarah negara bangsa Malaysia yang bakal genap 61 tahun pada tahun ini telah menyaksikan betapa suara rakyat itu adalah suara keramat yang mencipta gelombang harapan dan seterusnya memacu perubahan. Amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat ini amat bermakna sehingga memberi tekanan yang kuat kepada saya dan rakan-rakan di sebelah sini. Justeru itu, kami di sini komited untuk memastikan kerajaan baru ini bersih, cekap dan berpaksikan rakyat dengan berteraskan prinsip tadbir urus yang baik, good governance. Dengan semangat Malaysia Baharu, saya dan rakan-rakan di sebelah sini komited untuk mengangkat nilai demokrasi, menjayakan agenda reformasi dan sedaya upaya tidak mengulangi kesilapan masa lalu.

Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan perkara berkaitan dengan portfolio saya. Ternyata, komitmen yang telah diterjemahkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian adalah cerminan semangat Malaysia Baharu dalam membangkitkan persoalan tentang dasar, usaha dan tindakan untuk meningkatkan prestasi negeri Johor yang tercinta ini.

Pemerkasaan Kerajaan Tempatan merupakan agenda yang saya tekankan sebaik sahaja diberi amanah untuk memegang portfolio ini. Manakala, sepanjang bersidang ini, saya telah mengikuti perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan pelbagai perkara terutamanya tentang kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan kerajaan tempatan. Ini sejajar dengan apa penekanan kita selama ini.

Yang Berhormat Yong Peng dalam perbahasan pada 13 Ogos lepas telah menyentuh perihal dasar mesra Orang Kelainan Upaya di peringkat Kerajaan Tempatan dalam konteks penyediaan kemudahan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan tersebut. Kerajaan pada hari ini mendukung pendekatan bersifat inklusif dan sebarang agenda yang digagaskan merentas soal kepercayaan, keturunan dan keupayaan dengan berpegang setiap daripada kita mempunyai peluang dan potensi masing-masing. Lantaran itu, saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan komited dan beriltizam untuk memperkemas dan memperkasa dasar panduan sedia ada iaitu pantauan dan piawaian perancangan negeri Johor tahun 2013, dalam menyediakan kemudahan bersifat mesra, orang kelainan upaya. Maklumat terperinci telah diberikan kepada Yang Berhormat Yong Peng melalui jawapan soalan lisan secara bertulis pada Ahad yang lalu. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat berminat untuk mengetahui lebih mendalam berkenaan isu ini, dalam manual ini, bolehlah berhubung dengan saya sendiri ataupun berhubung dengan Yang Berhormat Yong Peng. Penetapan dan pemerkasaan piawaian ini akan di terjemah dalam sebarang pembinaan bangunan dan kemudahan awam yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan selain bangunan komersil oleh pihak swasta. Pihak kerajaan juga berpandangan bahawa iltizam ini harus diperluas dengan turut melibatkan pihak swasta rentas industri untuk terlibat sama dalam menyediakan kemudahan mesra OKU sebagai teras tanggungjawab sosial mereka.

Yang Berhormat Puan Speaker, kesesakan lalu lintas kini seakan lumrah bagi penghuni di kawasan-kawasan bandar khususnya di kawasan-kawasan yang pesat membangun. Sehubungan dengan itu, sebagai menjawab keprihatinan Yang Berhormat Bukit Permai tentang perkara tersebut, suka untuk saya maklumkan bahawa langkah-langkah penyuraian lalu lintas telah dan sedang dijalankan oleh pihak Majlis Perbandaran Kulai, MPKu.

Langkah penyuraian lalu lintas telah dicapai oleh Jawatankuasa Lalu Lintas MPKu yang turut melibatkan agensi rentas peranan, seperti Pejabat Tanah Daerah, Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia dan juga Ahli-Ahli Majlis MPKu melalui pemasangan sistem integrasi lampu isyarat pintar. Untuk makluman Yang Berhormat, sistem tersebut telah ditetapkan mengikut waktu puncak bagi laluan trafik antara Bandar Kulai dan Senai. Penetapan ini menyaksikan sebanyak 28% kesesakan dapat dikurangkan pada waktu pagi, manakala 40% pula kesesakan dapat dilancarkan pada waktu petang. Secara keseluruhan, pemasangan sistem ini telah mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di kawasan MPKu dan menjimatkan masa pengguna jalan raya sebanyak 40%.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Serom telah menyentuh soal kebajikan para peniaga di premis milik PBT negeri Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan konsisten dan komited untuk menyediakan dasar yang berprihatin untuk rakyat supaya menjana sumber pendapatan. Bagaimanapun, saya ingin menyatakan di sini bahawa Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan masih belum mempunyai cadangan untuk mengkaji kadar sewa premis semasa, memandangkan kadar yang dikenakan pada tahap sekarang adalah amat rendah, iaitu antara RM50.00 hingga RM300.00 berdasarkan bergantung kepada keluasan premis. Penetapan kadar yang rendah tersebut merupakan satu usaha bagi membantu peniaga-peniaga kecil untuk memulakan tapak perniagaan mereka. Perlu diakui bahawa kadar tersebut sebenarnya jauh bezanya dan rendah berbanding dengan gerai-gerai milik swasta.

Seterusnya Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin memberi respons kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Perling pada 14 Ogos yang lalu. Pertama, adalah berkenaan dengan soal cadangan bahawa rumah kedai 2 tingkat digunakan sebagai kediaman. Sebagai pencerahan, rancangan tempatan telah menetapkan bahawa bangunan kedai atau kedai pejabat di kategorikan sebagai guna tanah perdagangan. Oleh yang demikian, kerajaan berdasarkan kedaulatan undang-undang atau dengan izin rule of law menegaskan bahawa sebarang penggunaan bangunan kedai bagi tujuan kediaman adalah bercanggah dengan Akta Perancangan Bandar Dan Desa Tahun 1976, dan juga Kanun Tanah Negara dalam konteks percanggahan syarat nyata tanah.

Yang Berhormat Puan Speaker, fokus seterusnya terarah kepada bangunan ataupun perumahan strata yang juga dibangkitkan oleh Yang Berhormat Perling pada hari yang sama. Pertamanya adalah berkaitan dengan tribunal pengurusan strata. Saya ingin mengesahkan bahawa penubuhan tribunal tersebut bukanlah di bawah bidang kuasa PBT. Sebaliknya di bawah seliaan terus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT. Sebagai menjawab kepada persoalan tersebut, diperjelaskan bahawa kekerapan tribunal tersebut bersidang adalah ditentukan oleh pengurus tribunal sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 109 (2) Akta Pengurusan Strata 2013, Akta 757. Saya mengalu-alukan Yang Berhormat Perling untuk mendapatkan buku ini untuk mendalami isu ini.

Angka perjawatan semasa bagi Unit Pesuruhjaya Bangunan atau COB Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri juga dibangkitkan oleh Yang Berhormat Perling. Di mana di MBJB kita ada sebanyak 5 perjawatan yang diwarankan oleh JPA dan juga 2 anggota sokongan yang ditempatkan atas persetujuan Datuk Bandar. Di MBIP pula merekodkan sebanyak 6 perjawatan semasa yang disediakan oleh COB. Kerajaan maklum bahawa kakitangan COB sedia ada tidak mencukupi untuk mengurus pembangunan perumahan berstrata yang semakin pesat di sekitar metropolis Johor Bahru. Sebagai rujukan Yang Berhormat Puan Speaker, di kawasan pentadbiran MBJB sahaja, pertambahan sebanyak 2 kali ganda daripada bilangan pegangan strata telah dinampakkan sejak tahun 2013. Maka dengan itu, angka perjawatan semasa akan ditingkatkan lagi kepada 18 perjawatan tambahan bagi menampung keperluan di MBJB, manakala di MBIP pula akan menyaksikan penambahan sekurang-kurangnya 9 perjawatan yang kini dalam proses permohonan oleh PBT masing-masing. Untuk makluman Yang Berhormat, penambahan perjawatan yang dikemukakan oleh kedua-dua PBT tersebut adalah bagi

memenuhi pembangunan kawasan pemajuan berstrata yang begitu pesat. Penambahan itu juga bagi memastikan kelancaran penguatkuasaan Akta 757 yang saya sebut tadi.

Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Perling juga ada menyentuh tentang perihal banjir kilat yang sering melanda di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru. Langkah penyelenggaraannya terdiri daripada pemotongan rumput, pembersihan sampah dan pembersihan mendakan dilaksanakan secara bulanan di 34 anak sungai dan parit utama. Bagi menyokong langkah tersebut, pihak MBJB juga sentiasa memastikan 6 buah rumah pam dan stesen pam di bawah seliaannya sentiasa berfungsi dengan baik. Kerajaan menerusi MBJB komited untuk mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya ini. Oleh yang demikian, kerjasama telah dijalin dengan agensi rentas peranan, antaranya, Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar, IRDA dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS sejak tahun 2010 sehingga sekarang.

Yang Berhormat Puan Speaker, pada hari yang sama, Yang Berhormat Bentayan telah menyentuh soal inisiatif kerajaan negeri dalam mengekalkan Muar sebagai hab perabot utama yang terbesar yang melibatkan kilang haram. Selaku pentadbir, Majlis Perbandaran Muar, MPM telah melaksanakan langkah pengezonan semula keseluruhan kawasan kilang haram yang terbesar bagi mempermudahkan pengusaha industri memutihkan operasi mereka. Dalam pada itu, pihak MPM telah turut menjalinkan kerjasama dengan pihak Johor Corporation, Jcorp untuk menempatkan kilang-kilang haram yang terbabit di Industrial Park Sime Darby di Pagoh dan juga Muar Furniture Park berdekatan dengan Bakri, yang kini masih dalam proses kelulusan daripada agensi-agensi teknikal. Walaupun pihak MPM cuba sedaya upaya untuk mengekalkan Muar sebagai hab perabot utama yang terbesar di Malaysia, tetapi juga ada faktor lain yang mempengaruhi perkembangan industri perabot di Muar. Sebagai contoh, keupayaan modal, sumber bahan dan juga kekurangan modal insan. Perkara-perkara ini memerlukan kerjasama daripada agensi-agensi yang lain.

Yang Berhormat Puan Speaker, tumpuan kekal di Muar. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bentayan, yang berhubung dengan pembangunan Muar Central di bawah Rancangan Kawasan Khas, RKK Bandar Maharani, Bandar Diraja. Langkah mewujudkan terminal pengangkutan awam bersepadu di Muar dengan dinamakan sebagai Maharani Central telah diwartakan pada tahun 2008 di bawah Rancangan Tempatan Daerah Muar tahun 2002 hingga 2015. Pembangunan holistik di jangkakan bernilai RM70 juta ini amat dibimbangi berdepan dengan kegagalan. Ini berikutan dengan keupayaan kewangan MPM yang sederhana untuk membiayai projek tersebut. Bagaimanapun, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk merealisasikan rancangan berkenaan yang sekali gus akan membawa nilai tambah dan kesan baru kepada Muar, lebih-lebih lagi Yang Berhormat Puan Speaker dengan adanya 4 Menteri di daerah Muar ini, saya yakin perkara ini boleh dijayakan.

Yang Berhormat Puan Speaker, izinkan saya berada di Muar untuk lama sikit. Yang Berhormat Sungai Balang juga menyentuh tentang soal cadangan pembinaan balai bomba dan penyelamat Parit Tunggul dekat Mukim Parit Jawa, Muar di bawah kawasan DUN Sungai Balang. Saya terpanggil untuk memaklumkan bahawa pembinaan kemudahan tersebut sememangnya telah berada dalam perancangan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia. Pada ketika ini perancangan tersebut berada di peringkat pengambilan balik tanah seluas kira-kira 1.7 ekar dan telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia pada 3 Julai 2018 yang lalu. Perkembangan tentang perancangan pembinaan kemudahan ini akan dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Johor dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Puan Speaker, dari Muar saya ingin beralih ke Kota Tinggi. Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Panti, berhubung dengan status penyerahan pentadbiran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara atau KEJORA oleh pihak Majlis Daerah Kota Tinggi, MDKT. Pada tahun ini aset KEJORA diputuskan untuk diambil alih oleh pihak MDKT. Namun langkah tersebut tertangguh atas faktor kekangan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan oleh pihak MDKT dan dibimbangi memberi kesan

kewangan yang besar kepada MDKT. Hal ini demikian kerana pihak MDKT perlu membuat bayaran ganti rugi sebanyak RM3 juta atas faktor status aset KEJORA yang mendapat geran bernilai jumlah tersebut daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, KKLW. Lantas pengambilalihan tersebut memberi kesan kepada pihak MDKT untuk menyuntik dana bagi tujuan penyelenggaraan. Pihak kerajaan akan memaklumkan perkembangan tentang penyerahan pentadbiran melibatkan kedua-dua pihak ini dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebagaimana pendahuluan ucapan ini yang mengungkapkan tentang perubahan yang dijayakan oleh rakyat pada 9 Mei yang lalu, suka saya ingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa perubahan yang berlaku tersebut bukan sekadar peralihan kuasa kerajaan malah turut merangkumkan perubahan pemikiran dan keprihatinan tentang falsafah urus tadbir kerajaan. Oleh yang demikian, kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Harapan konsisten dan komited untuk tidak mengulangi kesilapan kerajaan sebelumnya yang memaksikan pemikiran sempit lagi jumud selain memecahbelahkan masyarakat pelbagai kepercayaan dan kaum di negara ini. sekali lagi ditegaskan bahawa kerajaan negeri baru ni mendukung pendekatan bersifat inklusif dan tidak melihat faktor kepercayaan keturunan dan keupayaan sebagai prasyarat dalam hal-hal tertentu.

Sehubungan itu, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang tentang penglibatan kaum India di peringkat Kerajaan Tempatan, saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa konsisten dan komited dalam memberi layanan yang sama tanpa sebarang pengasingan dan perbezaan. Layanan dalam hal-hal tertentu seperti perjawatan dalam PBT tidak wajar sama sekali terikat dalam sebarang bentuk syarat yang berbaur diskriminasi sebaliknya kerajaan baru ini akan mengangkat nilai merit kelayakan seseorang terlebih dahulu bagi memastikan pentadbiran awam khususnya di peringkat Kerajaan Tempatan dianggotai oleh mereka yang benar-benar berwibawa dalam menjalankan tugas. Bagaimanapun untuk memenuhi sikap ingin tahu Yang Berhormat Kahang, saya ingin memaklumkan bahawa seramai 133 orang pemohon kaum India daripada pemohon-pemohon ini telah diambil untuk mengisi kekosongan bagi semua gred perkhidmatan di semua PBT di negeri Johor, jauh lebih ramai daripada 80 orang yang disyorkan oleh Yang Berhormat Kahang. Saya berharap Yang Berhormat Kahang dapat mengambil maklum tentang perkara ini dan pada masa yang sama bersama-sama merealisasikan usaha kerajaan untuk mengagih manfaat dan memberi layanan yang adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Yang Berhormat Puan Speaker, kemuncak ucapan penggulungan ini ingin memfokuskan kepada pengurusan sisa pepejal yang begitu rapat dan sinonim dengan saya sejak berada di sebelah sana sebagai pembangkang. Kini, hal ehwal tersebut digalas saya di bawah Portfolio Kerajaan Tempatan. Perhatian serius telah diberikan dengan pecahannya kepada dua iaitu pengurusan sisa pepejal dan juga pengurusan pelupusan sisa.

Dalam konteks pengurusan sisa pepejal, masalah sampah longgok haram di serata negeri telah dijadikan terutama dan juga perhatian saya sebaik menerima tanggungjawab portfolio ini. Di samping itu perhatian saya turut terarah kepada pengurusan pelupusan sisa yang semakin hari semakin hampir pasti berhadapan dengan krisis. Oleh yang demikian, untuk bahagian ini saya akan menjawab perkara yang dibangkitkan oleh yang Berhormat Senggarang dan Yang Berhormat Machap pada 12 Ogos dengan disentuh sekali oleh Yang Berhormat Layang-Layang dan Yang Berhormat Seri Medan pada 13 Ogos. Fokus ini adalah terarah kepada tapak pelupusan sanitari Bukit Payung yang merupakan masa depan bagi wilayah tengah dan utara Johor. Untuk menampung keperluan daripada kawasan Majlis Perbandaran Kluang (MPM), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran, tadi Muar, sekarang Kluang, minta maaf, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Daerah Yong Peng yang meningkat seiring dengan pembangunan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan tersebut. Sebelum lebih lanjut, suka saya mengingatkan kembali kepada Yang Berhormat Seri Medan bahawa beliau bukan hari pertama duduk dalam

Dewan ni sebagai Wakil Rakyat, malah beliau juga pernah menduduki Majlis Mesyuarat Kerajaan sebelum ini dalam isu pembinaan tapak pelupusan sanitari Bukit Payung.

Dewan yang mulia ini bukanlah ruang pertama yang membolehkan Yang Berhormat untuk menyuarakan bantahan ke atas projek ini. Yang Berhormat Seri Medan telah melepaskan sekurang-kurangnya 3 peluang untuk membantah projek ini. semasa di peringkat perancangan sama ada atas kapasiti sebagai Ahli MMK ataupun sebagai Wakil Rakyat kerajaan, mahupun sebagai orang awam yang prihatin dan berkepentingan dalam isu ini.

Saya juga berlapang dada menerima teguran dan nasihat daripada Yang Berhormat Benut selaku Ketua Pembangkang yang amat berpengalaman dalam perihal tadbir urus kerajaan agar tidak terlalu akur kepada kerajaan persekutuan dalam hal ini. Saya bersetuju sebahagian daripada kenyataan Yang Berhormat Benut namun beliau juga tidak manfaatkan selaku Ahli MMK terdahulu untuk membantah dan menolak cadangan pembinaan tapak pelupusan sanitari Bukit Payung ini. Kini, Yang Berhormat Benut seakan-akan cuba menjolok dan menghasut kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan supaya mengambil pendekatan bertentangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung dengan projek melibatkan jutaan ringgit ini. Adakah Yang Berhormat Benut ini mempunyai udang di sebalik batu, mungkin bukan sekadar batu tetapi lebih kepada batu api.

Yang Berhormat Puan Speaker, dengan merujuk perancangan tempatan Daerah Batu Pahat tahun 2002 hingga 2020 yang diwartakan pada tahun 2012, Bukit Payung sememangnya telah dinyatakan sebagai kawasan cadangan tapak pelupusan sisa pepejal yang tidak di bantah selama tempoh publisiti dan seranta awam dan penyertaan awam selama 2 bulan pada tahun 2011. Ini yang dimaksudkan saya tadi. Secara dasar Bukit Payung sememangnya telah dinyatakan di dalam RTD dan diwartakan dengan tiada sebarang bantahan untuk dibina sebuah tapak pelupusan sisa pepejal. Di sini, saya ingin kongsikan kronologi...

Yang Berhormat Puan Speaker, di sini ingin saya berkongsikan kronologi penyediaan rancangan pemajuan yang berkaitan dengan cadangan tapak pusat pelupusan sisa pepejal Bukit Payung, Batu Pahat. Di mana, dari Rancangan Struktur Negeri Johor tahun 2001 hingga 2020 sampai ada gantian, ada pengubahan dan juga Rancangan Tempatan Daerah Batu Pahat yang bermula tahun 2002 hingga 2020 sehingga pengubahan dia, penggantian dia, sehingga tahun 2030, setiap kali penyediaan laporan rancangan tempatan ataupun laporan struktur negeri ini ada tempoh untuk bantahan. Malah Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, tidak pernah manfaatkan peluang ini sebagai satu forum yang betul yang sebenarnya untuk membantah segala projek atau sebarang pembangunan yang mereka rasa tidak sesuai untuk sesuatu tempat itu. Ingin saya ingatkan Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, bahawa kerajaan telah membelanja berjuta-juta ringgit untuk menyediakan Rancangan Tempatan Daerah ataupun Rancangan Struktur Negeri. Kita jangan anggap bahawa rancangan-rancangan ini hanya dijalankan diadakan sebagai satu formaliti. Sebenarnya laporan-laporan seperti ini merupakan asas kepada segala bentuk pembangunan yang ingin dijalankan di sesuatu tempat itu. Maka, saya harap Ahli-Ahli Yang Berhormat jangan kita memperlekehkan usaha yang dijalankan untuk merancang pembangunan di sesuatu tempat tetapi perlu kita sama-sama meneliti dan menghayati laporan ini dan menyumbang pendapat untuk memakmurkan lagi negeri Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, rancangan pembinaan Bukit Payung ini sebenarnya direncanakan untuk menyelesaikan secara jangka panjang sekali gus bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis pengurusan sisa pepejal di kawasan-kawasan tersebut. Tapak pembinaan Bukit Payung ini juga turut menjadi satu penyelesaian tuntas bagi penduduk-penduduk yang diselubungi asap akibat kejadian kebakaran yang sering berlaku di tapak pelupusan Bukit Bakri dan juga gangguan bekalan air di Simpang Renggam yang juga melibatkan warga DUN Layang-Layang dan Machap kerana pencemaran daripada air lalu resap daripada tapak pelupusan CEP Renggam.

Namun begitu, sepanjang perancangan ini diterjemahkan oleh pihak KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, terdapat bantahan yang dibangkitkan oleh warga penduduk sekitar kawasan Bukit Payung secara konteksnya tertumpu kepada soal alam sekitar, potensi ekonomi setempat yang berbentuk pelancongan rekreasi dan jangkaan nilai sejarah setempat. Kerajaan cakna dan prihatin atas bantahan tersebut sehingga menjadi keutamaan saya sebaik diberi portfolio ini.

Dalam pertemuan sulung saya dengan Yang Berhormat Menteri KPKT, pada 1 Julai yang lalu, susulan daripada itu perkara ini telah sekali lagi dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan yang sama sebelum diikuti dengan sesi seranta awam atau pun Town hall session bersama dengan penduduk setempat. Dua hari yang lepas selepas menjawab soalan di Dewan yang mulia ini, perkara yang sama telah sekali lagi saya bawa untuk perhatian dan pengetahuan Yang Berhormat Menteri KPKT di Kuala Lumpur. Perkara ini dibuat dengan hasrat kerajaan untuk menyampaikan hasrat kerajaan untuk mempertimbangkan penggantian lokasi cadangan tersebut dan seterusnya mencapai kata sepakat yang bermanfaat menang-menang, ataupun dengan izin, win win situation bagi rakyat penduduk setempat dan juga negeri Johor secara menyeluruh. Lantaran itu, kerajaan bersama dengan kerajaan Persekutuan melalui KPKT secara kolektif dan memutuskan bahawa kerja-kerja tapak di kawasan cadangan Bukit Payung ditangguhkan tetapi penangguhan ini tidak seperti yang disifatkan oleh Yang Berhormat Benut di mana ianya satu langkah yang merugikan tetapi langkah penangguhan ini akan disusuli dengan kajian dan penilaian komprehensif oleh jabatan teknikal yang terdiri daripada UPEN, SUK Bahagian Kerajaan Tempatan, MPBP, Majlis Daerah Yong Peng, JPSPN, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral Dan Geosains, PlanMalaysia, Pejabat Tanah Daerah Batu Pahat dan Muar, Jabatan Alam Sekitar dan juga SWCorp Negeri Johor. Bagi meneliti segenap aspek yang penting terhadap pemilihan lokasi baru, penting untuk dicadangkan kepada kerajaan dalam tempoh tersebut. Malah...

Timbalan Speaker

YB EXCO, harap 5 minit lagi.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Ada sikit isu lagi saya harap boleh habiskan, 5 minit tak berapa cukup. Pertimbangan yang dikemukakan turut merangkumkan pemodenan kemudahan pelupusan sisa pepejal melalui kaedah waste to energy (WTE) sebagaimana yang disarankan oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ketika lawatan ke Tapak Pelupusan Bukit Bakri bulan lalu. Oleh yang demikian, perkara yang berkaitan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Payung, sekali lagi dimaklumkan kerja-kerja tapak ditangguhkan sementara menunggu keputusan rasional dan diplomatik dicapai. Pihak kerajaan akan sentiasa menghebahkan perkembangan semasa tentang perkara tersebut kepada umum.

Yang Berhormat Puan Speaker, sementara itu, Yang Berhormat Machap dan Yang Berhormat Layang-Layang juga tak perlu bimbang. Pihak kerajaan sentiasa konsisten memantau perkembangan di tapak pelupusan CEP Renggam dan gangguan bekalan air yang diakibatkan oleh pencemaran air lalu resap dari tapak tersebut. Perkara itu akan dipantau dan ini sebenarnya menjadi satu keutamaan yang pertama sebaik sahaja saya menerima portfolio ini, di mana tapak ini merupakan tapak pelupusan yang pertama dikunjungi saya seawal pada 21 Jun yang lalu. Tapak Pelupusan CEP ini, yang menampung keperluan 3 PBT iaitu Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Perbandaran Kluang dan juga Majlis Perbandaran Batu Pahat menerima anggaran sampah sebanyak 450 hingga 500 tan sehari. Sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengawal pencemaran sumber air di Sungai Benut, pihak KPKT telah menyatakan persetujuan untuk menaik taraf kapasiti loji rawatan air lalu resap atau Leachate Treatment Plan (LTP) dengan izin, di tapak tersebut daripada kapasiti asal 150 meter padu kepada 300 meter padu sehari.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kelulusan tersebut kini berada di peringkat Kementerian Kewangan Malaysia. Langkah proaktif bagi mengelakkan kejadian yang sama berterusan dan berulang, kerja-kerja pengoperasian di tapak juga

menitikberatkan pengukuhan benteng tanah di kawasan sel yang menakung air hujan dan juga kolam takungan leachate. Pengukuhan ini akan dilakukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Pemantauan sentiasa akan dijalankan oleh pihak SWCorp bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Sekali lagi ditegaskan bahawa kerajaan komited dan teguh berpendirian untuk meningkatkan pengurusan dan pelupusan sisa pepejal secara mampan dan lestari bagi memenuhi keperluan bangsa Johor seiring dengan pembangunan pesat di serata negeri.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum saya menggulung ucapan ini, ingin saya tekankan tentang kepentingan penjagaan imej oleh Kerajaan Tempatan memandangkan institusi ini adalah paling hampir dengan masyarakat akar umbi sepanjang lawatan saya ke semua 16 kawasan PBT Negeri Johor. Justeru itu, budaya yang menghalang nilai kecekapan seharusnya dibanteras. Di kalangan warga PBT, sebarang amalan yang bertentangan dengan prinsip tadbir urusan baik atau dengan izin, good governance harus ditinggalkan meski pun telah menjadi sebati sepanjang perkhidmatan di bawah pemerintahan dahulu. Negara tak akan berubah tanpa perubahan yang dimulakan rakyat.

Untuk maksud itu, Puan Speaker, saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu di bawah Portfolio Kerajaan Tempatan. Suka saya tekankan bahawa Johor ini milik kita semua. Peralihan kuasa kepimpinan tidak sama sekali mengurangkan tanggungjawab kita sebagai bangsa Johor untuk membangunkan dan memakmurkan negeri Johor ini.

Saya tidak ada pantun seperti Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO yang sebelum ini. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini, terdapat beberapa isu setempat yang dibangkitkan dalam Dewan yang mulia. Adalah ditegaskan bahawa Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan yang baru ini sentiasa terbuka dan efisien dalam mendepani isu-isu sedemikian. Maka saya yakin bahawa isu-isu ini dapat diselesaikan dengan cara berurusan dan merujuk terus kepada Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan tidak nampak ada keperluan untuk dibawa ke Dewan yang mulia ini. Kita di sini Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu memanfaatkan sehingga tahap optimum peluang dan ruang di Dewan Negeri ini sebagai satu forum untuk membicarakan tentang isu-isu berkaitan dengan rancangan dan dasar pembangunan negeri. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Saya menjemput YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, eh sorry, ya YB EXCO Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih YB Puan Speaker. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Sayangi Malaysiaku. Terlebih dahulu patik ingin menjunjung setinggi kasih dan penghargaan di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor kerana sudi berangkat ke Dewan yang mulia ini dan menyampaikan titah bagi merasmikan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

YB Puan Speaker, pertamanya saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor kerana buat pertama kalinya dalam masa 61 tahun berani membuat perubahan besar dalam PRU Ke-14 dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan baru di negeri Johor yang bertuah ini.

YB Puan Speaker, saya menyokong sepenuhnya titah Dewan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang mengingatkan kita semua bahawa jawatan yang diberikan itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan mesti dipikul dengan jujur dan amanah. Ayat Al-Quran dalam Surahtul Qasas ayat ke 26 (Firman Allah) iaitu merujuk kepada kekuatan ilmu, kemahiran dan kebijaksanaan dengan izin, wisdom dan al-Amin (amanah dan jujur). Setiap pemimpin sewajibnya mempunyai dua ciri ini bagi melayakkan diri mereka menjadi pemimpin yang bertakwa.

Yang Berhormat Puan Speaker, Al-Quwah dan amanah ini juga adalah merupakan ingredient, dengan izin, yang utama kepada urus tadbir yang baik, good governance. Kedua-dua sifat ini akan menjadi benteng atau perisai kepada setiap pemimpin daripada terjebak dalam amalan rasuah, salah guna kuasa, salah guna wang rakyat dan seumpamanya.

Dasar utama kepada tawaran Manifesto Pakatan Harapan dalam PRU Ke-14 adalah tadbir urus berintegriti. Bagi menjayakan tadbir urus berintegriti ini beberapa langkah sedang dan telah diambil. Yang pertama, mengehadkan jawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada dua penggal. Kedua melaksanakan pengisytiharan harta oleh Yang Amat berhormat Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan (MMK). Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan EXCO telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah baru-baru ini dan akan menghantar borang pengisytiharan harta dalam tempoh sebulan daripada tarikh tersebut. Yang ketiga, pelaksanaan tender terbuka. Keempat mengiktiraf jawatan Ketua Pembangkang. Kelima, memperkasakan Jawatankuasa Kira-Kira Awam ataupun PAC khususnya dalam meningkatkan prestasi dan integriti semua agensi awam. Yang keenam, mengubah ataupun menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat, Freedom Of Information dengan izin seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan juga Pulau Pinang.

Yang Berhormat Puan Speaker, antara Yang Berhormat yang menyentuh tentang isu perumahan termasuklah Rengit, Sedili, Bukit Naning, Penawar, Endau, Buluh Kasap, Layang-Layang dan juga Larkin. YB Rengit menyentuh tentang Manifesto Pakatan Harapan Johor untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun. Beliau menyatakan kerajaan Barisan Nasional dahulu telah menyasarkan membina 100,000 unit rumah mampu milik sehingga 2023 dan adakah sasaran Manifesto Pakatan Harapan berasaskan kepada perancangan telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional yang lalu.

Suka saya menyorot semula, naratif bagaimana angka 100,000 ini timbul. Pada asalnya selepas PRU ke -13, kerajaan Barisan Nasional telah menyasarkan membina 60,000 rumah mampu milik menjelang 2020. Realitinya sehingga Disember 2017, seperti yang telah disebutkan secara rasmi oleh mantan Menteri Besar yang lalu, iaitu selepas 4 tahun rumah mampu milik yang berjaya dibina hanyalah 16,010 unit ataupun 4,002 unit setahun.

Walaupun begitu, kerajaan Barisan Nasional Negeri Johor menyemak semula sasaran pembinaan rumah mampu milik kepada 100,000 unit menjelang 2023 iaitu 10,000 unit setahun. Mengikut maklumat daripada Bahagian Perumahan dari Januari hingga Mei 2018, terdapat 885 unit rumah mampu milik baru yang ditawarkan Sijil Layak Memiliki Bangunan, SLMR, Sijil Layak Memiliki Rumah menjadikan jumlah keseluruhan rumah mampu milik yang siap sebelum PRU Ke-14 adalah berjumlah 16,895 unit. Saya tidak pasti asas angka 19,000 rumah mampu milik yang dinyatakan YB Rengit yang telah siap sehingga Mei 2018.

Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan Johor akan hanya mengambil kira SLMR yang telah dikeluarkan selepas daripada PRU Ke-14 dalam mengira 100,000 unit yang disasarkan. Persoalannya, kenapa kerajaan Pakatan Harapan Johor menyasarkan untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik dalam masa 5 tahun ataupun 20,000 unit setahun berbanding dengan kerajaan Barisan Nasional yang hanya menyasarkan membina 100,000 unit dalam masa 10 tahun sehingga tahun 2023 ataupun 10,000 unit setahun sedangkan hakikatnya hanya mampu membina 4,002 unit setahun.

Mengikut senarai menunggu sehingga ke hari ini, waiting list dengan izin, terdapat seramai 115,515 orang yang berhajat untuk membeli rumah mampu milik. Ini bermakna jika berdasarkan prestasi kerajaan Barisan Nasional yang dahulu iaitu membina 4,002 unit setahun, kita memerlukan 29 tahun untuk membina rumah 115,515 tersebut. Itu sebabnya kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih fokus dan berani untuk membina 20,000 unit setahun yang insya-Allah akan memerlukan hanya 6 tahun untuk membina 115,515 unit rumah mampu milik. Jadi saya rasa tidak timbul isu copy and paste seperti yang diungkapkan oleh YB Penawar.

Yang Berhormat Puan Speaker, YB Layang-Layang mencadangkan supaya rumah mampu milik dibina di semua DUN di negeri Johor. Ianya merupakan satu cadangan yang baik tetapi dalam industri pembinaan, kebolehpasaran ataupun market ability sesuatu produk sangat penting dalam menentukan kejayaan sesuatu projek perumahan. Mungkin mengikut statistik terkini, 75% permintaan ke atas Rumah Mampu Milik Johor adalah datangnya daripada daerah Johor Bahru dan juga Kulai. Walau bagaimanapun, di atas tanggungjawab bagi memastikan setiap keluarga di negeri Johor mampu untuk memiliki rumah mereka sendiri, kerajaan negeri akan tetap membina rumah mampu milik di daerah-daerah lain berdasarkan kepada permintaan yang ada.

Yang Berhormat Puan Speaker, YB Buluh Kasap ada menyentuh tentang Skim Sewa Beli, Rent To Own, dengan izin, yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Beliau juga menyampaikan hasrat Persatuan Penduduk Perumahan Rakyat (PPR), Batu Anam, Segamat agar rumah mereka yang sekarang ini sewa ditukar ke bentuk Skim Sewa Beli di bawah kerajaan negeri. Suka saya nyatakan kepada Yang Berhormat Buluh Kasap, sebenarnya Program Perumahan Rakyat atau ringkasnya PPR adalah di bawah kerajaan persekutuan yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT dan bila siap pembinaannya, PPR ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk kerja-kerja kutipan sewa dan juga kerja-kerja penyelenggaraan bangunan. Setakat ini ada 8 projek PPR di Johor dengan 8,279 unit termasuk 102 unit PPR di Batu Anam. Kita memang mempunyai cadangan untuk menjual sebahagian daripada PPR ini kerana komitmen kewangan yang tinggi oleh kerajaan negeri untuk kerja-kerja penyelenggaraan sedangkan prestasi kutipan sewa iaitu berjumlah RM124.00 sebulan adalah rendah pada purata lebih kurang 40% sahaja. Walau bagaimanapun, perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu dengan KPKT, bagi menyelesaikan isu pemilikan tanah oleh kerajaan persekutuan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sempena usaha mengeluarkan hak milik strata berasingan boleh dilaksanakan.

YB Larkin menyentuh tentang projek perumahan sakit dan terbengkalai di negeri Johor. Mengikut website Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT. Setakat ini terdapat 23 projek perumahan sakit dan 44 projek perumahan terbengkalai di negeri Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, projek sakit adalah merupakan projek yang mengalami kelewatan melebihi 30% berbanding kemajuan yang sepatutnya atau telah tamat tempoh perjanjian jual beli. Pada kebiasaan sesuatu projek menjadi sakit bilamana pemajunya mengalami masalah kewangan atau menghadapi tindakan perundangan. Bagi projek sakit ini, pihak kerajaan akan berperanan sebagai facilitator ataupun mediator dengan izin di antara pemaju perumahan dan pihak pembeli dalam usaha untuk memulih atau menyelesaikan masalah projek sakit tersebut. Daripada 23 projek sakit yang saya sebutkan tadi, 3 projek daripadanya iaitu Taman Seri Molek Perdana, Taman Setia Indah dan Nusantara Prima telah berjaya diadakan perundingan di antara pemegang taruh dan kaedah penyelesaian telah dipersetujui secara bersama.

Projek terbengkalai. Projek terbengkalai ditakrifkan sebagai projek-projek yang memenuhi kriteria berikut :

1. Projek yang tidak siap dalam tempoh perjanjian jual beli dan tiada sebarang aktiviti yang ketara di tapak pembinaan selama 6 bulan secara berterusan.

2. Petisyen penggulungan telah didaftarkan Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 218 Akta Syarikat 1966.

3. Syarikat diletakkan di bawah pengawal, penerima dan pengurus, receiver and manager.

4. Pemaju mengakui tidak berupaya secara bertulis kepada pengawal perumahan.

5. Disahkan projek terbengkalai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Seksyen 11 (1C) Akta 118.

Yang Berhormat Puan Speaker, projek terbengkalai diletakkan di bawah Jabatan Perumahan Negara, JPN, dan kebiasaan kaedah penyelesaian adalah dengan melantik pemaju-pemaju penyelamat, white knights dengan izin, bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai tersebut diselesaikan. Daripada 44 projek terbengkalai yang terdapat di negeri Johor semenjak 2009, 35 projek telah berjaya diselesaikan, 5 projek di peringkat pemulihan, iaitu Taman Kulai Utama, Taman Mount Austin, Taman Bayu di Tebrau dan Taman Seri Lambak serta Taman Desa Kempas. Dan 4 lagi projek di peringkat perancangan iaitu Taman Tunku Abdul Rahman di Segamat, Taman Mewah Jaya di Plentong, Taman Satria, Pontian, dan Taman Cahaya, Peserai di Batu Pahat. Setakat ini kerajaan telah mengambil tindakan dengan menyenaraihitamkan pemaju perumahan yang projeknya terlibat dalam projek terbengkalai dan setakat ini di negeri Johor terdapat 20 pemaju perumahan di Johor yang telah disenaraihitamkan.

Timbalan Speaker

YB EXCO, YB EXCO sila duduk. Waktu sudah sampai pukul 5:00, jadi, penggulungan YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar akan disambung semula pada hari Ahad, 19 Ogos. Saya tangguhkan Persidangan ini sehingga hari Ahad, 19 Ogos 2018, jam 9:30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5:00 petang.