Johor · 19 August 2018

1st session, 2nd meeting · 187 turns · 21,081 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, alhamdulillah, hari ini adalah hari yang terakhir persidangan kita semua. Kita akan teruskan persidangan ini tanpa rehat seperti biasa. Biasa kita pukul 11.00 kita ada rehat, tapi kita teruskan sahaja sehingga selesai di tengah hari.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Serom jemput.

Bismillahirahmaanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 1. Apakah status terkini tentang usaha kerajaan untuk memperkenalkan skim biasiswa untuk rakyat Johor?

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam harapan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, biasiswa merupakan anugerah daripada kerajaan kepada murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang dan memenuhi kriteria. Pada masa ini telah terdapat biasiswa Persekutuan yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Manakala khusus untuk murid-murid di negeri Johor iaitu beberapa biasiswa telah diperkenalkan yang diuruskan oleh Yayasan Pelajaran Johor. Selain daripada pemberian pinjaman pelajaran, YPJ juga ada menawarkan skim biasiswa kepada anak-anak Johor yang cemerlang di peringkat sekolah menengah, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Berikut merupakan jenis biasiswa yang ditawarkan oleh YPJ iaitu:

1. Biasiswa di peringkat sekolah menengah – Biasiswa Kenangan Dato’ Onn dengan pemberian kadar RM600.00 setahun bagi pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 6. 2. Biasiswa di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda iaitu Biasiswa Sukan Atlet Johor yang menaja atlet-atlet negeri Johor yang melanjutkan pengajian di IPT dalam Malaysia dengan kadar bantuan yuran penuh dan juga meliputi kos sara hidup iaitu RM500.00 sebulan; 3. Biasiswa di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah iaitu Biasiswa Sultan Ibrahim yang menaja pelajar cemerlang negeri Johor yang melanjutkan pengajian di IPT dalam Malaysia dengan kadar bantuan yuran penuh dan juga meliputi kos sara hidup iaitu RM1,000.00 dan RM1,500.00 sebulan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Serom jemput, soalan tambahan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mendapatkan penelitian kepada apa yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO tadi tentang usaha-usaha ataupun biasiswa yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri Johor, dalam konteks ini apakah statistik kepada penerima-penerima kepada semua

biasiswa-biasiswa yang telah dicadangkan ataupun yang telah disebutkan oleh YB EXCO tadi.

Speaker

Jemput.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Serom, untuk makluman pihak Serom, insya-Allah jawapan ini kami akan bagi dalam bertulis. Terima kasih.

Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Benut. Eh sorry minta maaf... err Bentayan, sorry.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2.

Apakah rancangan kerajaan dalam menambah baik pengurusan sisa pepejal di negeri Johor dengan memanfaatkan teknologi terkini?

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Salam sejahtera, selamat pagi, salam harapan. Terima kasih kepada Tuan Speaker dan terima kasih kepada soalan daripada Yang Berhormat Bentayan. Saya bimbang Speaker tak suka saya, soalan saya tak timbul. (Ketawa).

Speaker

Tak ada... tak ada niat jahat ya... (Ketawa).

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Bentayan bertanya tentang perancangan kerajaan dalam menambah baik pengurusan sisa pepejal di negeri Johor. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pengurusan sisa pepejal sebenarnya kini berada di bawah urus tadbir dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memperkasa sistem pengurusan sisa pepejal di Malaysia khususnya di negeri Johor.

Di negeri Johor, 2 tapak pelupusan akan di naik taraf daripada tapak pelupusan sanitari kepada tapak pelupusan bersepadu atau dengan izin, integrated facility. Yang bakal merangkumkan sistem dan kemudahan teknologi terkini yang berkonsepkan waste to wealth dengan izin WTE, pyrolisis, anaerobic digester dan sebagainya. Bagi memenuhi dan menampung keperluan semasa serta menghindarkan negeri Johor daripada krisis sisa pepejal, teknologi tersebut akan dilaksanakan di tapak pelupusan sanitari Selong dan tapak pelupusan Tanjung Langsat.

Kerajaan negeri berpendirian untuk menuju ke satu sistem pelupusan sisa pepejal yang efektif melalui konsep WTE ini dengan mengangkat nilai kelestarian apabila sampah dilupuskan, akan diproses dan hasilnya menjadi tenaga ataupun bahan-bahan yang lain yang boleh menjana pendapatan.

Dua pendekatan iaitu pelupusan sampah dan penghasilan hasil tersebut digabungkan dan hasilnya kemudiannya dijual dan diguna untuk memberi manfaat kepada kawasan dan penduduk setempat. Bagi tambahan, konsep WTE ini merupakan sistem pelupusan sisa pepejal yang mampan dan mampu menjana pendapatan, malah mengurangkan tanggungan kerajaan negeri dalam menguruskan sisa pepejal. Pelaksanaan konsep ini dilihat sebagai pendekatan bersifat jangka panjang dalam mengatasi isu-isu kritikal dan mendesak di tapak-tapak pelupusan sedia ada seperti pencemaran air larut resap atau dengan izin leachate, pencemaran bau, kebakaran akibat cuaca, rungutan awam dan juga kesihatan masyarakat setempat.

Speaker

Jemput Bentayan, soalan tambahan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Tuan Speaker. Yang kita sedia maklumkan sekarang banyak kapasiti untuk tapak pelupusan sisa pepejal di negeri Johor ini, banyak dekat tahap yang maksimum. Sebagai satu contohnya dekat Bukit Bakri, tempohnya hanya tinggal 1 hingga 1 ½ tahun, so jadi, saya nak tahukan, apakah tindakan jangka masa pendek untuk kerajaan negeri untuk mengatasikan masalah ini. Sekian.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih kepada Yang Berhormat Bentayan atas soalan tersebut. Untuk makluman yang Berhormat Speaker, rancangan asal yang di rangkak oleh Kerajaan terdahulu seperti yang hangat diperbincangkan dalam Dewan yang mulia ini untuk beberapa, dalam perbahasan beberapa hari yang lepas ini, adalah di mana semuanya akan menunggu pembinaan tapak pelupusan sanitari di Bukit Payung. Di mana kalau ikut rancangan asal, tapak pelupusan di Bukit Bakri akan ditutup selamat, disebabkan telah habis tempoh hayatnya, menjangkau tahun 2019. Bagaimanapun disebabkan ada bantahan yang begitu kuat daripada pihak penduduk di tapak Bukit Payung, maka pihak kerajaan sekarang dalam, tahap di mana peringkat mengkaji semula pembinaan tapak pelupusan sanitari Bukit Payung. Bagaimanapun untuk penyelesaian jangka pendek kepada tapak pelupusan Bukit Bakri, kami akan mencari satu tapak tambahan yang berdekatan untuk menampung keperluan di sekitar Majlis Perbandaran Muar sebagai apa tu kita kata, sebagai satu penyelesaian sementara ataupun sebagai satu back up plan sekiranya terpaksa juga kita menutup tapak pelupusan Bakri pada tahun hadapan.

Speaker

Jemput Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat EXCO tahniah kerana kerajaan masih lagi meneruskan pendekatan Waste to Wealth ini sebagai satu kaedah untuk mengurus sisa pepejal. Saya ingin mendapat pandangan daripada pihak kerajaan terhadap penggunaan teknologi yang semakin hari kalau kos menjadi kekangan. Teknologi berkembang maju dan kos juga menurun. Jadi daripada sanitary landfill yang dicadangkan di beberapa tapak untuk pelupusan sampah ini, apakah pendapat Kerajaan tentang penggunaan incinerator sebagai salah satu kaedah, yang kita tahu mesra alam sekitar dan ianya merupakan salah satu kaedah pelupusan yang terbaik sekiranya bajet ataupun peruntukan tidak menjadi halangan. Terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Benut soalan yang ditimbulkan tadi. Sebenarnya untuk makluman Dewan yang mulia ini, sekarang ini kita lebih daripada konsep Waste to Wealth, WTE daripada hanya kita menyebut incinerator di mana ianya adalah satu pembaziran. Apabila segala sisa dihantar untuk dibakar, ianya adalah satu pembaziran sumber. Maka kita dalam proses mengkaji di mana ada beberapa proposal ataupun cadangan yang telah dihantar kepada pihak saya, maka kami akan mengambil kira dari segi bukan sahaja kos pembinaan tetapi juga dari segi kos pengurusan untuk jangka panjang.

Untuk makluman Yang Berhormat dan makluman Dewan yang mulia ini, di mana kos untuk pembinaan... cadangan untuk pembinaan incinerator ini dia bukan sahaja melibatkan kebimbangan dari segi isu-isu alam sekitar, tetapi ianya sebenarnya juga memberi implikasi dari segi kos pengurusan. Yang saya maksudkan ini adalah tipping fee yang akan dikenakan kepada Pihak-pihak Berkuasa Tempatan. Di mana kadangkala walaupun kita nampak kos pembinaan itu tak begitu tinggi, ataupun sekarang ni memang ramai saya lihat banyak pihak-pihak yang cuba melobi kerajaan untuk membina incinerator dengan tawaran

yang begitu menarik sehingga mereka boleh mengeluarkan keseluruhan kos pembinaannya. Bagaimanapun, saya selalu percaya dan kerajaan selalu percaya pada satu rythm Inggeris, bahawa “there’s no free runs in this world”, maka kalau orang bagi secara percuma, kita kena fikir apakah implikasi jangka panjangnya. Maka kerajaan sentiasa mengamalkan sikap teliti dalam perkara ini supaya kita tidak membuat satu keputusan yang akan membebankan pihak berkuasa tempatan dalam jangka masa panjang.

Speaker

Ada lagi yang percuma YB. Gas.. udara masih percuma lagi (Ketawa). Silakan Senggarang.

Tuan Ir. Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, tadi Yang Berhormat EXCO telah menyatakan tentang Bukit Payung. Saya selalu dengar Bukit Payung ini. Semua diharapkan Bukit Payung. Kita sebenarnya penduduk-penduduk di Bukit Payung dah membuat bantahan daripada 2010, dah lama dah, sekarang dah 2018 kan, dah 8 tahun kan. Sepatutnya dah awal-awal dah mencari tempat lain dan akhirnya saya terima kasihlah kepada kerajaan yang baru ini, sejak Pakatan Harapan yang telah menangguhkan pusat pelupusan sampah Bukit Payung, iaitu satu tindakan yang cerdiklah saya rasa, yang baik untuk rakyat di sana. Dan soalan saya, adakah masalah ini yang selalu kritikal, masalah sampah ini, dulu-dulu tidak diperasan oleh kerajaan yang lama. Sampai dah sampai, dah sampai dah apa? Dah nak tenggelam semua baru kita nak, kerajaan Pakatan Harapan baru nak ambil alih masalah-masalah ini daripada kerajaan yang lama. Soalan saya.

Speaker

Jemput, YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Senggarang. Tapi nampaknya mungkin saya tidak sesuai untuk menjawab soalan itu. Sebab soalan itu ditujukan kepada kerajaan yang lama tapi bagaimanapun mungkin saya ambil masa sedikit untuk membicarakan apakah isu dan masalah yang kita hadapi dalam isu di Bukit Payung ini. Di kalangannya, isu dan cabaran yang kita hadapi adalah dua iaitu, bantahan daripada penduduk yang mana sehingga di kalangan EXCO-EXCO, kita juga berharap supaya projek ini dibatalkan. Bagaimanapun, sekarang ini arahan penangguhan untuk Bukit Payung ini, dia akan menyebabkan pembinaan di Bukit Payung tidak dapat disiapkan sebelum tapak Ladang CEP dan juga tapak Bakri yang saya sebut tadi yang akan tamat beroperasi pada tahun 2019. Implikasi ini ialah sisa pepejal dari Simpang Renggam, Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Daerah Batu Pahat dan Majlis Perbandaran Muar tiada tapak untuk dilupuskan. Saya harap jangan nanti semua sampah ini hantar ke rumah saya sudah.

Dan implikasi kewangannya adalah monthly recurring cost iaitu setiap bulan, ada kos sebanyak RM1 juta sebulan kepada kontraktor bagi kos mobilasi jentera, kos overhead dan kos pengurusan di tapak. Perkara ini, saya ada dapat maklumat daripada pihak Kementerian bahawa kontraktor sekarang dalam usaha untuk menuntut kerugian ini kepada kerajaan. Kos bagi Leachate Treatment Plan di ladang, di tapak pelupusan Ladang CEP yang menelan perbelanjaan kira-kira RM3.5 juta. Dan juga bayaran ganti rugi material di tapak yang dianggarkan menelan peruntukan sebanyak RM6.5 juta. Dari segi teknikal, Tapak Pelupusan Bukit Payung ini, sebenarnya dia bertujuan untuk menyelesaikan isu pengurusan sisa pepejal di kawasan Utara Johor. Yang mana jangka hayatnya akan tamat pada tempoh, tahun 2019 atau lebih awal. Antaranya adalah untuk Majlis Daerah Tangkak, iaitu Tapak Pelupusan Bekok yang akan, dijangka tamat pada tahun 2020. Majlis Perbandaran Batu Pahat, iaitu Ladang, tapak Pelupusan Ladang CEP dan Simpang Renggam juga, Kluang yang dijangka tamat tempoh pada 2019. Untuk Majlis Perbandaran Muar, Tapak Pelupusan Bakri dijangkakan pada tahun 2019. Maka kita mengikut jadual asal. Sekiranya tarikh Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Payung dapat siap pada 26 Ogos 2019, mengambil kira jangka hayat untuk tapak-tapak yang sebut saya tadi, maka tapak pelupusan di sekitar Johor Bahru Utara boleh ditutup secara selamat sebab isu yang kita hadapi ialah, sekarang ini tapak-tapak pelupusan tersebut bukan merupakan tapak pelupusan sanitary. Kegagalan untuk menyiapkan Tapak Pelupusan Bukit Payung ini akan menyebabkan persoalan dan masalah

yang besar untuk Majlis-Majlis Bandaraya, Majlis-Majlis Perbandaran ataupun Majlis-Majlis Daerah yang saya sebut tadi. Bagaimana pun, pihak kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil kira segala aspek dalam isu-isu ini dan sekarang ini kita telah mengambil kira bantahan daripada Bukit Payung, maka nampaknya kita dah selesaikan masalah ataupun bantahan di satu tapak tetapi kita terpaksa menangani masalah untuk 3 atau 4 tapak yang lain. Itu keadaan semasa yang kita hadapi.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Benut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.

Minta dinyatakan langkah dan sasaran kerajaan negeri bagi memastikan Pelan Induk Pembangunan Kontraktor Johor boleh dijayakan dan apakah bentuk sasaran yang telah dikenal pasti.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, selamat pagi. Alhamdulillah Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Benut, soalan A99 semalam saya dah jawab sebahagiannya iaitu untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, antara langkah-langkah dan sasaran yang diambil oleh kerajaan negeri ialah dengan adanya penubuhan JCCD, sebagai pemudah cara dan agensi tempat para kontraktor di dalam industri pembinaan. Jadi dalam JCCD ini juga ada laman sesawang dan kita cadangkan untuk kita upgrading dia jadi data pusat akan datang. Di mana dalam tersebut kita sedang mengemas kini dan penyusunan semula pendaftaran kontraktor serta membantu khidmat maklumat sistem perolehan, penyewaan mesin jentera, senarai pembekal atau supplier dengan izin, khidmat nasihat kewangan, star rating, iaitu kualiti kedudukan kualiti kontraktor, dengan izin, senarai reference kerja, dengan izin. Maklumat tawaran latihan dan seminar. Di samping itu juga beberapa perjumpaan dan sesi temu bual saya dengan badan-badan yang melibatkan dengan kontraktor iaitu CIDB, PKK dan juga YPJ. Di mana, macam CIDB ini perbincangan saya lebih tertumpu, CIDB ini menyediakan kursus-kursus jangka pendek, kebanyakan macam operator crane, backhoe, pemandu backhoe dipanggil, kalau orang kita panggil JCB lah dan juga kursus-kursus scalfolding perencah. Jadi cuma benda ini memang dah ada, zaman sebelum kita tubuh kerajaan, tinggal lagi penekanan saya tentang kualiti. Dulu, pengalaman saya Yang Berhormat Speaker, kalau operator crane itu dengan pemandu JCB keluar, walaupun ada lesen tapi tak mampu untuk memandu. Jadi kali ini kita cadangkan supaya, dia mempunyai, dipanggil industry training supaya dia keluar lebih berkualiti. Dan bila dia masuk dalam pasaran memudahkan dia compete dalam pasaran dan juga kita sebagai primer kontraktor ini dapat produk yang lebih berkualiti dan menyakinkan.

Sebab apa, Yang Berhormat, ini pengalaman saya. Bila tiada kualiti, ini bila keluar, machine kita crane pun patah. Jadi ini di antara penekanan yang kita minta CIDB fokuskan dan CIDB pun bagi sebenarnya elaun sara hidup tapi tidaklah banyak kepada peserta. Cuma satu lagi kelemahannya saya tengok dari segi tawaran. Benda ini kadang-kadang tidak sampai dekat bawah. Kadang-kadang benda ini macam tertutup sangat. Jadi minta, benda ini saya minta diuar-uarkan melalui media yang lebih luas supaya belia-belia ini dapat maklumat yang lebih baik pendekatannya. Seterusnya, PKK. PKK ini saya tengok macam kurang agresif dari segi, dari segi penambahan kontraktor agresif, tapi saya nak kualiti kontraktor. Dan saya mengarahkan PKK untuk melanjutkan tempoh-tempoh lesen PKK. Saya nak supaya PKK buat observation atau kunjungan kepada premis-premis, pejabat-pejabat syarikat kontraktor, betul tak kontraktor wujud. Sebab apa kita tak nak timbul isu bahawa banyak sangat dekat market isu penyewaan lesen. Atau syarikat-syarikat ali baba. Jadi kita arahkan, saya dah arahkan, saya pun dah bagi macam satu target PKK supaya every month dia bagi dekat saya laporan, dia punya, laporan observation tersebut untuk dia melanjutkan tarikh tempoh kontraktor.

Seterusnya tentang YPJ. YPJ ini di bawah kerajaan negeri Johor. Saya dah jumpa secara tidak official dengan YPJ Pendidikan iaitu saya minta supaya dipertimbangkan kursus-kursus yang lebih sesuai mengikut market demand dengan izin, supaya kursus-kursus yang dikeluarkan oleh YPJ itu betul-betul katanya sesuai dengan keperluan pasaran industri pembinaan. Jadi saya ambil contoh, macam di YPJ tidak ada kursus QS lepas itu tidak ada kursus macam oil and gas punya gas tester dan sebagainya. Yang ini kita tengok projek RAPID saya belum, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pun pernah terlibat dalam projek RAPID banyak course-course peluang yang macam ini yang kita sepatutnya kita buat di YPJ dan bila graduan kita keluar dan kita boleh supply untuk pasaran di projek RAPID sana. Jadi sekarang ini, kebanyakannya kita datangnya pekerja daripada luar. Dan dengan ada kursus tersebut, kita harap anak-anak Johor dapat lebih peluang untuk kita masuk dalam pasaran projek-projek sedemikian oil and gas. Terima kasih.

Speaker

Jemput soalan tambahan Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat EXCO di atas kefahaman yang cukup mendalam terhadap industri pembinaan dan juga keyakinan Yang Berhormat EXCO untuk menggerakkan JCCD ini. Semalam kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan Mampan 2019 – 2030. Program-program seperti JCCD ini Yang Berhormat perlu dan tentunya akan selari dengan pelan induk. Jadi Pelan Induk Pembangunan Kontraktor ini dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor itu perlu selari. Jadi untuk itu di manakah di dalam Pelan Mampan Johor ini adanya teras-teras yang lapan itu dimasukkan peranan JCCD ini untuk Yang Berhormat boleh, membolehkan Yang Berhormat untuk membangunkan lebih ramai lagi kontraktor-kontraktor. Jadi adakah salah satu daripada lapan teras itu akan membolehkan Yang Berhormat memacu JCCD ini terus maju ke hadapan. Kalau tidak ada, adakah Yang Berhormat bersedia untuk memasukkan peranan JCCD di dalam lapan teras tersebut.

Speaker

Jemput

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Terima kasih Yang Berhormat, Yang Berhormat Speaker, jadi sebenarnya pembangunan teras ini adalah nama pun teras, dia ada lapan. Dia tidak menyebut secara detail tentang pembangunan tersebut. Jadi Insya-Allah, kita akan, kita bukan ada, kita memang ada planning masuk dalam itu tapi kita tidak umumkan secara detail lah. Nama pun teras sahaja. Pengisian dia, kita akan bagi maklumat kemudian, boleh tak Yang Berhormat?. Sebab maklumlah kita baru 3 bulan. Bagilah peluang kita sedikit untuk kita mengkaji dengan lebih detail. Nama pun teras sahajakan. Terima kasih. Dan segala pandangan saya pun sebenarnya, kita kerajaan baru. Kita menawarkan juga jika ada idea-idea daripada pihak di sebelah. Kita sama-samalah untuk membangunkan negeri Johor ini. Jadi kita bukan, tidak semestinya semua pandangan kita daripada EXCO ini betul. Jadi kalau kita ada hubungan dua hala yang lebih baik, saya rasa dengan gabungan ini kita sama-sama dapat membangunkan negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Jemput Permas, soalan tambahan.

Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya, apakah kerajaan ada perancangan untuk menyenarai hitam dan membekukan kontraktor yang gagal dalam projek yang diberikan seperti Masjid Taman Scientex di mana kontraktor tidak menyiapkan dalam masa yang ditetapkan. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO. Jemput, soalan tambahan.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Yang Berhormat Speaker, maknanya soalan ni dah macam jauh benar. Tapi saya jawab jugalah. Sebenarnya bila projek-projek yang terbengkalai ni, bila kita, sebenarnya langkah terbaik

kita sebenarnya pihak JKR sebaik-baiknya kita tidak terminate kontraktor kecuali projek tersebut dah teruk sangat, dekat site ni dah tak bergerak, tak ada pekerja dan sebagainya. Yang ini kita terpaksa terminate. Kalau kita biarkan pun memang tak siap. Tapi kalau dah penghujung, katalah dia dah mencapai lebih kurang 80% ke atas, walaupun dia slow, dia ada yang bekerja kita masih tidak terminate, kita bagi peluang untuk menyiapkan. Sebab, termination ni bukan satu proses yang senang, dia melibatkan implikasi undang-undang dan sebagainya. Bukannya mudah dan biasa termination ni bergaduh dekat mahkamah. Jadi, sebaik-baiknya kita mengambil langkah win-win situation supaya projek ni boleh di siap dan diselamatkan. Tetapi kalau tak ada juga, macam kita pergi memang dah lemau sangat istilah projek tersebut kita terpaksa terminate. Tetapi kesan termination biasanya kita nak retender balik, pertamanya mengenai proses perolehan yang ambil masa. Yang keduanya, biasa termination kita tak dapat mencapai kos yang asal. Macam mana pun bila kita panggil masuk kontraktor baru, dia ada skop-skop prelim dan akhirnya dia, bajet akan burst. Bila bajet burst aje kita balik buat BQ, kita terpaksa buat bajet tambahan. Bila bajet tambahan melibatkan kerajaan persekutuan dia mengambil masa yang lebih jadi itulah sebabnya bukan dia masjid juga, ada juga soalan yang saya tak dapat jawab, Masjid Kampung Sawah, ranking soalan tak sampai kat saya. Tapi saya jawablah. Inilah punca dia sebenarnya projek-projek tersebut tidak dapat diselamatkan dengan segera. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya. Jemput Yang Berhormat Tanjung Surat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 4.

Dengan peningkatan pembangunan perumahan dan industri di Pengerang, adakah bekalan air mencukupi untuk menampung penambahan keperluan air yang dijangkakan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat dari Tanjung Surat telah membangkitkan soalan sama ada dengan peningkatan perumahan dan industri di Pengerang, adakah bekalan air mencukupi penambahan keperluan air yang dijangkakan?

Sukacita saya maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, berdasarkan keperluan air daripada maklumat permohonan kebenaran merancang oleh pemaju kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan konsep keseluruhan pembangunan baru oleh pihak pemaju kepada pihak Syarikat Air Johor Ranhill sememangnya terdapat peningkatan keperluan air di kawasan Pengerang. Pembangunan baru ini di kawasan Pengerang juga termasuk perumahan baru, kilang dan projek pembangunan taman tema. Pihak pemaju telah mengemukakan keperluan air untuk jangka masa terdekat sehingga tempoh 5 tahun lebih kurang 30 juta liter sehari ataupun 30mld.

Oleh itu, kerja menaik taraf Loji Rawatan Air di Sungai Lebam telah dicadangkan yang mana ianya dilaksanakan melalui dua fasa. Fasa pertama, daripada kapasiti 40mld kepada 50mld telah disiapkan pada tahun 2017 dan fasa kedua iaitu daripada 50mld kepada 81mld masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada November tahun 2018.

Dengan penyiapan kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Sungai Lebam ini ianya akan dapat menampung permintaan air untuk domestik dan industri di kawasan Pengerang dan sekitarnya. Pada masa ini keperluan bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sungai Lebam adalah dalam sekitar 46mld. Sungguhpun demikian, keperluan pembinaan infrastruktur bekalan air baru akan sentiasa dikaji bergantung kepada unjuran permintaan air dan akan dicadangkan di dalam pelan perniagaan Syarikat Air Johor yang akan dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kelulusan dan seterusnya pelaksanaan oleh pihak SPAN. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Tanjung Surat, soalan tambahan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada EXCO yang menjawab. Daripada jawapan yang diberi saya rasa dalam jangka masa ke depan ni, saya ingat mencukupilah buat masa ini. Cuma, saya ingin tanya kalau ada rancangan kerana bekalan air bersih ni kita tingkat pun, menambahkan lagi bekalannya air di rawat, tapi kalau sistem paip yang ada tidak baik ataupun tidak mencukupi saiznya ataupun dah lama sangat, tidak boleh dipakai dengan begitu berkesan. Jadi soalan saya, adakah dengan pembesaran peningkatan loji-loji rawatan air ni membekalkan air bersih, kerajaan negeri bercadang untuk mengganti paip-paip lama atau paip-paip yang saiznya tidak sesuai lagi dengan keadaan yang ada di Pengerang. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih untuk soalan tambahan oleh Yang Berhormat daripada Tanjung Surat. Ya Tuan Speaker, sememangnya kalaulah isu-isu piping ni dia tidak ditukar, dia bukan sahaja satu, dia tidak boleh terima tekanan. Maknanya bila piping tu lama sangat, air yang di pam melalui piping tu kadang-kadang dia tidak boleh, kita kata fully utilized 100% sebab tekanan dia tidak boleh tahan dan kemungkinan kalau kita paksa dia boleh pecah. Dan, kalau pecah piping tu maknanya adalah isu gangguan bekalan air.

Dan, keduanya bila piping dia tidak ditukar dia akan juga mengakibatkan air tu terhilang yang kita panggil NRW, non revenue water di mana di Johor kita di dalam hampir 25%. Ini juga akan mengakibatkan payback kita naik yang akan menjejaskan ada satu kaitan, kesan kepada tarif air kita. Maka saya cukup setuju dengan cadangan Tanjung Surat dan memang pun kita ada cadangan untuk membuat penukaran paip air dari semasa ke semasa termasuk juga di kawasan Pengerang. Sekian.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Senai.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya nombor 5.

Seperti yang kita semua tahu, kawasan Senai di lengkapi dengan kemudahan seperti lapangan terbang, stesen kereta api, RTC dan pusat membeli belah Johor Premium Outlet (JPO). Apa yang saya sedih adalah, pelancong yang datang ke Senai tidak mempunyai tempat menarik untuk berkunjung. Adakah kerajaan Johor bercadang untuk menaikkan nama Senai sebagai Hub Kesenian dan Kebudayaan bagi mempromosikan sektor pelancongan?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih YB Senai mengemukakan soalan tersebut. Berdasarkan pelan induk pelancongan negeri Johor tahun 2014 hingga 2023, kawasan Kulai, Senai, Skudai telah diletakkan di bawah kluster destinasi pelancongan membeli belah atau leisure shopping dengan menjadikan JPO, Johor Premium Outlet sebagai satu tarikan pelancongan utama di kawasan berkenaan.

Untuk makluman, salah satu cadangan yang dikenal pasti dalam pelan induk tersebut adalah untuk mewujudkan Johor Creative Art and Perfomance Centre yang berkonsepkan studio, galeri dan teater bagi mempersembahkan demonstrasi, latihan dan juga persembahan kebudayaan. Ini akan menjadikan tempat ini sebagai one stop centre atau pusat sehenti kepada para pelancong dan pelawat dalam memperkenalkan budaya negeri Johor kepada masyarakat luar.

Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan memerlukan penelitian rapi khususnya di dalam mengenal pasti tapak cadangan dan pelabur atau pemaju yang berpotensi. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput Senai, kalau ada soalan tambahan.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Soalan tambahan ya. Saya nak tanya tentang status peruntukan kewangan daripada bekas Menteri Pejabat Perdana, Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Air Hitam juga, menafikan infrastruktur pekan Kulai seperti menyatakan pusat informasi pelancongan, kos perbelanjaan lukis mural dan sebagainya. Menurut maklumat media di cetak di Sing Chew Guan Mei dan Nanyang Siang Pau pada 10 Mac 2018 memperuntukkan kewangannya sebanyak RM500,000.00 untuk rancangan sedemikian dan Senai juga nak tanya tentang status pelan tindakan, PT11 cadangan menaik taraf aktiviti pelancongan mural di Kelapa Sawit yang tercetak dalam Rancangan Kawasan Khas Kulai Utama 2015 sampai 2025 daerah Kulai. Berdasar anggaran kos tercatat...

Speaker

Panjangnya soalannya...

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

...dalam 4.4 Pengurusan ya, perlaksanaan...

Speaker

Mana satu soalan ni...

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Ada dua soalan. Satu dia kewangan daripada bekas..

Speaker

Satu soalan saja kita bagi...

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

...yang lagi satu peruntukan sama, wang, wang juga, dengan peruntukan juga. Dicadangkan dekat PT11 ni ada RM7 juta untuk menaikkan kawasan itu. Sepatutnya kawasan Kelapa Sawit ini, dia punya Art Festival siapa yang anjur? Saya yang anjur, saya lukis mural kat sana. Tak pernah saya dapat 10 sen daripada kerajaan juga. Kenapa ini dia nyatakan ada bajet RM7 juta untuk projek tersebut? Itu soalan saya.

Speaker

Ok.

Tuan Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih kepada ADUN Senai. Terima kasih saya ucapkan kepada ADUN Senai kerana sebelum ini walaupun bukan Wakil Rakyat telah menjalankan banyak-banyak aktiviti di kawasan Kelapa Sawit....

Speaker

Padanlah dia menang.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

...melukiskan mural yang cantik di tempat tersebut. Walaupun tidak dapat peruntukan daripada kerajaan sebelum ini tetapi masih tetap beliau melukis mural di tempat tersebut. Bagi menjawab soalan ADUN Senai, kami tahulah bahawa sebelum pilihan raya banyak janji-janji yang telah dikemukakan oleh pihak kerajaan yang sebelum ini. Tetapi setakat ini setelah disemak, Majlis Pentadbiran Kulai, MPKu mendapati bahawa tidak ada peruntukan kewangan yang disebut oleh, yang telah disalurkan kepada, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam, yang telah dinyatakan oleh ADUN Senai. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jadi, sedekah jelah Yang Berhormat. Sedekah ajalah yang tu. Ok, Bukit Permai.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyoal kepada pihak kerajaan. Kita ada lapangan terbang, tarafnya antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, tapi saya amat sedih dan dukacita kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai tidak ada kawasan tinjau. Maknanya orang ramai datang bawa anak-anak nak tengok kapal terbang tak dapat. Jadi, apakah rancangan kerajaan di bawah sektor pelancongan, minta kepada lapangan terbang Senai ni diadakan satu kawasan tinjau, Yang Berhormat. Terima kasih.

Speaker

Saya tak pasti soalan ni tepat ke tak soalan tu. Tapi, saya persilakanlah YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih kepada ADUN Bukit Permai. Cadangan ini merupakan satu cadangan yang baik. Saya akan mengemukakan soalan dan cadangan ini kepada Senai Airport. Sekian, terima kasih.

Speaker

Hmm...nanti dia dah siap nanti Bukit Permai orang pertama sekali naik atas. (Dewan ketawa). Saya jemput seterusnya, Semarang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya Tuan Speaker, soalan nombor 6.

Mohon nyatakan perancangan kerajaan dan status perancangannya untuk menjadikan daerah Segamat untuk menjadi sebagai hab pertanian dan pengeluaran hasil asas tani serta apakah jenis aktiviti pertanian yang diutamakan.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada YB Semarang. Segamat merupakan daerah yang amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hub pertanian dan pengeluaran hasil asas tani. Daerah yang mempunyai keluasan 285,136 hektar dengan populasi 213,000 orang penduduk. Segamat merupakan daerah terbesar bagi keluasan penuaian hasil tanaman bagi jenis tanaman utama antaranya durian, limau bali dan betik, nangka, pisang dan rambutan iaitu seluas 6,522 hektar. Bagi setiap, bagi sektor pertanian, aktiviti utama telah didominasi oleh aktiviti tanaman, eco dan agro-pelancongan dan industri kecil dan sederhana. Produk utama bagi daerah Segamat ialah durian, betik, limau bali, kelapa, penternakan dan juga perikanan. Segamat mensasarkan dan menfokuskan 3 bidang utama iaitu pertanian moden, tarikan akronik dan eco dan agro-pelancongan. Dari segi kekuatan, daerah Segamat mempunyai sumber pertanian yang banyak, kesuburan tanah, mempunyai komuniti berasaskan pertanian yang kuat dan komuniti pertanian yang bersedia untuk berkembang dan memajukan sektor ini. Segamat juga mempunyai keunikan produk seperti durian Segamat dan ikan baung. Satu kajian berkaitan pelan pembangunan hab pertanian dan industri asas tani telah dilakukan bagi memacu sektor pertanian dan industri asas tani di daerah ini, secara lebih komprehensif dalam jangka masa pendek dan panjang. Di peringkat pentadbiran daerah, Pejabat Daerah Segamat telah memulakan inisiatif ini seperti mewujudkan kemudahan-kemudahan bagi menyokong dan merancakkan aktiviti sektor pertanian dan industri asas tani.

Selain itu, usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan Wilayah Pembangunan Koridor Johor Utara yang melibatkan tiga daerah di Utara Johor iaitu Segamat, Tangkak dan Muar.Ini selari dengan hasrat menjadikan Segamat sebagai hab pertanian dan industri asas tani. Hal ini kerana wilayah ini memfokuskan sektor pendidikan, perabot, pertanian moden, industri asas tani dan eko dan agro pelancongan, terima kasih.

Speaker

Jemput Semarang, soalan tambahan.

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Untuk menjadikan Segamat sebagai hab pertanian dan pengeluaran hasil asas tani,

saya ingin bertanya, adakah kerajaan akan menumpukan kepada pengusaha-pengusaha pertanian sedia ada semata-mata ataupun menyediakan kawasan-kawasan baru untuk peserta-peserta dan pemain-pemain industri yang baru, yang telah dikenal pasti berpengalaman dan apakah usaha kerajaan untuk memastikan bahawa ia rantaian nilai dalam industri pertanian ini kekal berfungsi di hab yang baru ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Yang Berhormat Tuan Speaker, Jabatan Pertanian memberi fokus pada kedua-dua bidang. Maknanya, kita akan memajukan penternak-penternak dan petani kecil-kecilan dan kita juga akan memberikan tanah-tanah untuk mereka usahakan. Contohnya, projek yang terbaru ialah agromix farm yang kita telah laksanakan di jalan antara Mersing ke Muadzam di mana di agromix farm untuk fasa pertama, kita telah memberikan tanah seluas 50 ekar kepada 11 pengusaha-pengusaha di mana pengusaha-pengusaha dapat mewujudkan satu, seperti show room, bagi mewakilkan projek-projek ataupun penternakan-penternakan ataupun pertanian-pertanian yang mereka telah usahakan.

Begitu juga, agromix farm mempunyai beberapa fasa di mana keluasan total agromix farm ialah sebanyak 156 ekar. Jadi, di mana dengan adanya inisiatif-inisiatif dan intensif-intensif yang dibuat oleh Jabatan, saya cukup yakin bahawa Segamat akan menjadi hab pertanian untuk Johor. Kemudian, banyak juga projek-projek yang telah kita buat contohnya, memperkasakan industri hiliran. Dan untuk memastikan bekalan stok buah-buahan tidak dipasarkan atau untuk memastikan harga buah tidak jatuh, kerajaan juga akan memastikan, kerajaan berusaha untuk mengeksport buah-buahan yang ada di kawasan Segamat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Bukit Kepong, ada? Tak ada ya?

Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Saya amat bersetujulah apa yang telah dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO tentang hab pertanian yang akan dilaksanakan di daerah Segamat. Apa yang kita lihat sebenarnya, apa yang dirancang oleh kerajaan terdahulu iaitu daerah Segamat memang diletakkan sebagai daerah yang akan diberi keutamaan untuk kita wujudkan hab pertanian. Cuma, apa yang saya amat tertarik dengan apa yang dimaklumkan oleh Menteri Pertanian yang mana telah mencadangkan untuk nelayan menanam nanas dan sebagainya di belakang rumah. Jadi, adakah Yang Berhormat EXCO atau Jabatan Pertanian mempunyai perancangan khusus atau program khas untuk melihat bahawa ini pun sebagai salah satu daripada program-program, kerana kita hanya menumpukan kepada hab pertanian di daerah Segamat?terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih. Saya belum diberikan presentation lah ataupun penerangan tentang apa yang Menteri ucapkan tapi menurut saya itu merupakan satu idea untuk memastikan bahawa nelayan tidak hanya fokus untuk menjadi nelayan. Contohnya, mungkin nelayan boleh bekerja juga sebagai membuat juga tanam-tanaman. Itulah sebetulnya yang kerajaan dulu telah buat, contohnya, macam kami di kawasan kampung, kita digalakkan untuk menanam kelapa sawit. Kita juga digalakkan untuk menanam getah dan mungkin juga kita digalakkan juga untuk membuat dusun buah-buahan kerana pada satu waktu, getah mungkin akan turun harga dia, tapi kelapa sawit akan naik dan buah biasanya sentiasa naik. Itulah mungkin idea daripada Yang Berhormat Menteri di mana nelayan, selain dia fokus untuk memastikan bahawa pelaksanaan hidup dia yang biasa menjadi nelayan, mungkin dia juga boleh berfikir macam mana untuk menambahkan income untuk memastikan pendapatan sentiasa meningkat. Jadi, di kawasan pantai biasanya yang terbaik ialah menanam kelapa atau mungkin di kawasan sana sesuai dengan tanaman nanas. Jadi, nelayan digalakkan untuk

menangkap ikan dan juga mungkin ada juga hasil lain seperti menanam nanas dan kelapa. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sedili, silakan Sedili.

Terima kasih Tuan Speaker. Soalan tambahan saya, untuk pengetahuan, di Sedili kebanyakannya adalah nelayan. Mereka duduk menumpang di rumah-rumah orang tua. Adakah dengan dasar kerajaan hari ini, menyuruh nelayan untuk tanam tanaman kontan dan sebagainya, adakah kerajaan akan memberi tanah kepada nelayan-nelayan yang tidak ada tanah? Terima kasih.

Speaker

Jemput.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Terima kasih di atas pertanyaan. Insya-Allah, itu merupakan satu idea atau pandangan yang baik tapi untuk, hingga ke hari ini, saya belum dimaklumkan adakah ada pemberian tanah atau tidak? Namun, saya akan bawa perkara itu ke pihak Yang Berhormat Menteri, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Pekan Nanas.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.

Adakah kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan VEP di Tambak Johor dan lebuh raya Linkedua? Apakah masalah dihadapi dalam pelaksanaan VEP dan memohon pencerahan serta pendirian kerajaan dalam pelaksanaan dasar ini?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk maklumat Yang Berhormat Pekan Nanas, buat masa ini pelaksanaan VEP, Vehicle Entry Permit adalah dalam peringkat Professional Acceptance Test (PAT) dan akan memulai fasa Final Acceptance Test (FAT) sebelum dilaksanakan secara rasmi. Memandangkan VEP masih belum dilaksanakan secara rasmi, maka pada masa ini, tiada sebarang masalah pengoperasian VEP yang telah dikenal pasti, dan masih terlalu awal untuk kerajaan mengkaji pelaksanaan sistem tersebut.

Dalam hal ini, kerajaan masih kekal untuk meneruskan pelaksanaan VEP kerana sistem ini akan dapat membantu memantapkan keselamatan negara dari segi pengurangan masalah kemasukan kenderaan haram, membasmi penyeludupan kenderaan klon serta dapat memastikan semua kenderaan asing mematuhi kesemua peraturan-peraturan jalan raya negeri ini. Terima kasih, Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Jemput Pekan Nenas, soalan tambahan.

Tuan Yeo Tung SiongDAP · PHPekan Nanas

Yang Berhormat Tuan Speaker, pelaksanaan VEP sebenar dirancang bermula sejak 1 Ogos 2015. Syarikat yang mendapat projek pelaksanaan VEP adalah TC Seng Sdn. Bhd. melalui rundingan terus. Menurut maklumat daripada bursa investment , TC Seng Sdn. Bhd. ini telah mensubkan projek ini kepada pihak ketiga Dagang Nes Cheng Sdn. Bhd. bernilai RM104 juta.

Syarikat TC Seng ini juga melibatkan bekas Ahli Parlimen kawasan Tanjung Piai,Wee JeckSeng dengan memegang 25% daripada syarikat TC Seng. Soalan saya adalah, adakah wajar ahli politik untuk melibat diri dalam projek-projek kerajaan kerana dia adalah bertentangan dengan prinsip iaitu conflict of interest? Dan adakah kerajaan akan mengkaji semula penyerahan projek ini kepada TC Seng Sdn. Bhd kerana dia telah mengsubkan

kontrak sebahagian ataupun mengsubkan kontrak ini kepada pihak yang ketiga. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan · Puteri Wangsa

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada YB Pekan Nanas. Jadi, sebenar ini maklumat yang barulah saya dapat,terus terang saya cakap, sebelum ini saya pun secara peribadi tak tahu melibatkan benar atau tidak terlibatkan bekas seorang Timbalan Menteri, tapi dari segi moral of story, ceritanya, sebenarnya tak eloklah salah tak salah ini, kita kena rujuk, kena confirm betul-betul sebab benda ini kita kena confirm dahulu sebarang maklumat kita dapat, kita kena confirm dahulu betul atau tidak, baru kita ambil tindakan undang-undang atau sebagainya. Jadi, yang ini kita akan buat follow up yang seterusnya, kita akan, kebetulan lagi 2 minggu saya ada perjumpaan dengan Menteri Pengangkutan, sebab apa VEP ini bawah Kementerian Pengangkutan dan kita akan bincangkan perkara tersebut.

Sebenarnya, sistem ini bagus, tinggal lagi dipertikaikan siapa yang owned, yang punyai projek tersebut, itu yang dipertikaikan oleh rakyat. Sistem tak ada masalah, satu perkara yang baik supaya kita tadi yang saya cakapkan, kita boleh kawal, kita tak hendak kereta-kereta balik Singapura ini, datang masuk Malaysia, dia tak balik dan dia datang kat Malaysia, dia duduk kat Malaysia, dia jadi kereta klon. Kadang-kadang, ada sendikit-sendikit yang buat kereta ini, bila accident, dia masuk kereta baru, body dia macam ini, dan di bawah JPJ. Jadi, yang ini maklumat ini, kita akan panjangkan kepada Kementerian Pengangkutan. Jadi, saya pun tidak boleh buat tuduhan melulu dan sebagainya. Sebagai kerajaan yang adil, jadi saya perlu juga dapatkan confirmation, jadi ini kita anggap dia sebagai satu disyaki ayat dialah, jadi disyaki ini kita kena siasat dahulu.Terima kasih memberi maklumat.

Speaker

Panti.

Bismillahirrahmaanirrahim. Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker dan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana meneruskan ataupun setuju dengan pelaksanaan VEP. Saya masih ingat beberapa tahun dahulu, saya adalah antara yang bersama-sama dengan Yang Berhormat Speaker berdebat pasal VEP ini di Pulai, kalau tak silap saya. Apa pun..

Speaker

Masa itu, PAS lagi ya?

Masa itu PAS lagi. Apa pun, saya ingin dapat kepastian daripada kerajaan negeri tentang apabila VEP ini dilaksanakan akan ada kutipan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan. Antara cadangan yang telah dikemukakan dahulu adalah untuk kerajaan negeri memohon sebahagian kecil daripada kutipan tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri. Ini adalah bertujuan bagi memastikan supaya kerajaan negeri, selain daripada mendapat pulangan, ia juga boleh digunakan untuk penyelenggaraan ataupun pembangunan infra-infra yang baru yang digunakan yang ada di dalam negeri kita.

Apa pun, itulah saya nak dapatkan kepastian sama ada kerajaan negeri ada membuat secara rasmi atau memohon untuk sebahagian daripada kutipan tersebut disalurkan ataupun dipulangkan kepada kerajaan negeri semula? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Panti, Yang Berhormat Speaker. VEP ini di bawah Seksyen 66(h) di mana JPJ perlu merekod semua kenderaan yang masuk. Jadi, yang dibayar adalah bukan VEP, yang dibayar adalah road charge sebenarnya. VEP ini proses tak bayar pun. Road charge ini kita ikut statistik 2017, anggaran lebih kurang kita dapat 100juta dan 25%

adalah untuk kerajaan negeri dan 75% adalah kerajaan pusat dan kita punya sumber adalah 25juta lebih kurang anggaran kasar 25 juta. Jadi yang ini balik kepada kerajaan negeri dan kerajaan negeri boleh gunakan untuk pembangunan dan juga maintenance dan sebagainya. Jadi, itu yang saya boleh jawab apa soalan daripada ni. Terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya jemput Senai.

Encik Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya no. 8.

Kawasan Senai seringkali berlaku gangguan bekalan air. Apabila berlaku pencemaran di loji rawatan air, tidak kurang daripada 3 jam kawasan Seelong menghadapi gangguan bekalan air yang kritikal. Saya difahamkan kawasan Senai mempunyai beberapa tangki air, bolehkan senaraikan jumlah semua tangki air di kawasan Senai dan berapakah jumlah tangki air yang berfungsi?

Speaker

Jemput JB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Tuan Speaker, pertamanya saya ingin menyatakan terima kasih juga kepada Yang Berhormat dari Senai bukan sahaja untuk soalan ini tapi untuk selama ini terlibat dengan begitu tegasnya dalam program kelapa sawit. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, beliau seorang artis yang cukup berbakat dan selamat 4 tahun ini dalam program kelapa sawit ia ada banyak lukis formula. Saya ajak semua Yang Berhormat-Yang Berhormat di sini datanglah lawat pada 30 hingga 31 Ogos Pesta Less Art At Sawit mungkin Yang Berhormat Senai boleh memberi tour juga dan saya haraplah ia sudah jadi Yang Berhormat jangan lupa kalau ada masa boleh balik dan lukis lagi dengan mural yang lagi cantik lagi. Dewan bertepuk.

Speaker

Ini promosi Yang Berhormat. (Dewan ketawa).

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Promosi Tourism juga. Yang Berhormat Tuan Speaker, kawasan Senai, kini menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Semanggar melalui tangki imbangan bukit 75 seterusnya disalurkan ke tangki-tangki perkhidmatan yang terdapat di kawasan Senai iaitu sebanyak 20 buah tangki. Ke semua tangki tersebut berfungsi dengan baik.

Kawasan Seelong yang mempunyai 1792 akaun Syarikat Air Johor dan kawasan Kampung Maju Jaya yang mempunyai 138 akaun SAJ merupakan kawasan berbukit-bukit dan menerima bekalan secara terus dari tangki imbangan bukit 75 kerana tangki-tangki perkhidmatan sedia ada yang lain tidak sesuai untuk menyalurkan air ke kawasan tersebut. Berkaitan gangguan bekalan air yang berlaku di luar kawalan pihak SAJ Ranhill yang berpunca daripada pencemaran, dimaklumkan sepanjang tahun 2017 dan 2018 terdapat 3 insiden pencemaran air mentah di Sungai Johor iaitu pencemaran ammonia yang berlaku pada 22 Ogos 2017 dan 27 Oktober 2017. Kejadian kekeruhan air mentah tinggi sehingga mencecah tahap 1,564 NTU pada 6 April 2018 serta insiden tumpahan minyak yang berlaku pada 10 Mei 2018 baru-baru ini. Selain itu, pihak loji juga menghadapi insiden masalah bekalan TNB terputus pada 4 September 2017 dan 29 April 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Senai juga ada buat pertanyaan untuk senaraikan semua tangki air di kawasan Senai dan berapakah jumlah tangki air yang berfungsi? Untuk jangka masa Panjang, SAJ juga telah ada perancangan membina sebuah tangki perkhidmatan meninggi atau kita panggil elevated tank berkapasiti 4.5 juta sehari di sekitar Kampung Maju Jaya bagi mengatasi masalah yang berlaku sehingga kini di peringkat reka bentuk oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Untuk makluman, tangki ini dijangka siap pada awal tahun 2020 dan mendatangkan manfaat kepada kira-kira 1,930 pemegang akuan Syarikat Air Johor. Sementara menanti projek tersebut siap sepenuhnya dan sekiranya berlaku insiden Loji Rawatan Air Semanggar terpaksa berhenti operasi maka untuk meminimumkan atau mengurangkan kesan gangguan bekalan air, Syarikat Air Johor

telah diarahkan oleh pihak kerajaan untuk mengarahkan lori bantuan air ke kawasan-kawasan terbabit dalam masa yang paling singkat bantuan tangki ini adalah diberi keutamaanlah kepada pusat dialisis, rumah ibadat, hospital, asrama sekolah, kematian dan acara keraian.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, terdapat 20 tangki air di kawasan Senai izinkan saya bacakan.

1. Tangki Senai balancing yang mempunyai kapasiti 6.82 milion liter. 2. Taman Desa Idaman 2 yang mempunyai kapasiti 2.59juta liter. 3. Tangki Taman Scientex Senai yang mempunyai kapasiti 6.82juta liter. 4. Senai Airport City 1 yang mempunyai kapasiti 5.77juta liter. 5. Taman Senai Jaya yang mempunyai kapasiti 0.64juta liter. 6. Senai 2 A yang mempunyai kapasiti 1.14juta liter. 7. Taman Bintang Utama yang mempunyai kapasiti 1.82juta liter. 8. Tangki Taman Bintang yang mempunyai kapasiti 0.68juta liter. 9. Tangki Industri di Senai 2 yang mempunyai kapasiti 2.27juta liter. 10. Tangki Industri di Senai 4 yang mempunyai kapasiti 1.86juta liter. 11. Tangki Industri Senai 3B yang mempunyai kapasiti 3.18juta liter. 12. Tangki Senai Airport 2 yang mempunyai kapasiti 3.3 juta liter. 13. Tangki Taman Senai Utama 1 yang mempunyai kapasiti 1.14juta liter. 14. Taman Senai Utama kedua yang mempunyai kapasiti 1.82juta liter. 15. Taman Aman yang mempunyai kapasiti 1.59juta liter. 16. Tangki Taman Bukit Senang yang mempunyai kapasiti 0.91juta liter. 17. Tangki Senai 5 yang mempunyai kapasiti 0.45juta liter. 18. Tangki Senai Pertama yang mempunyai kapasiti 0.91juta liter. 19. Tangki Senai 4 yang mempunyai kapasiti 2.27juta liter; dan 20. Akhirnya tangki Taman Impian Senai yang mempunyai kapasiti 1.59juta liter. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan tambahan daripada Senai.

Encik Tee Boon TsongDAP · PHSenai

Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih EXCO. Pembukaan Art Festival kat Kelapa Sawit jemputlah semua datang 30, 31 Ogos. Soalan tambahan saya, difahamkan setiap kapasiti tangki simpanan air perlu berkemampuan membekal air tanpa terjejas selama 24 jam kepada kawasan mereka walaupun terputus bekalan air daripada loji rawatan air. Apakah perancangan kerajaan negeri Johor memastikan tempoh bekalan air selepas catuan air dapat dipanjangkan ke arah 24 jam tanpa jejas. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Senai atas soalan tambahan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di bawah Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air, Destilasi Air Dan Pemasangan Paip 2014 ada menyatakan berkaitan hal muatan tangki simpanan di mana tangki simpanan bagi bangunan selain hospital, lapangan terbang atau bangunan industri hendaklah direka bentuk dan dibina dengan muatan simpanan tidak kurang daripada permintaan air selama satu hari berdasarkan corak penggunaan. Oleh itu, tangki individu dalam setiap premis perlu mempunyai simpanan 24 jam untuk memastikan pengguna mempunyai simpanan air yang mencukupi sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Untuk makluman, fungsi tangki berpusat atau tangki perkhidmatan pula adalah bertujuan untuk menyimpan air selama 24 jam sekiranya terdapat gangguan bekalan air pada satu-satu kawasan. Terdapat tangki perkhidmatan yang telah kurang keupayaan simpanan 24 jam disebabkan beberapa faktor antaranya pembangunan kawasan penempatan kecil baharu berdekatan dan menggunakan tangki sedia ada. Pihak Syarikat Air Johor juga telah

mengenal pasti tangki-tangki yang perlu dibina bagi mengatasi permintaan semasa dan masa hadapan.

Kawasan pedalaman seperti di kampung-kampung pula lazimnya tidak mempunyai tangki simpanan individu di premis masing-masing dan ini merupakan antaranya punca mereka tidak mempunyai simpanan air mencukupi sekiranya berlaku gangguan bekalan air. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ok. Seterusnya jemput Yang Berhormat Tenggaroh.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 9.Apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri kita?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa negeri Johor sememangnya mempunyai banyak tarikan pelancongan yang berpotensi untuk menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara. Selain itu, kedudukan negeri Johor yang strategik iaitu di selatan semenanjung Malaysia telah menjadikan negeri sebagai salah satu pintu masuk utama pelancong antarabangsa ke Malaysia. Menyedari perkara ini, maka kerajaan negeri dengan kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang berkaitan dengan pelancongan sentiasa mempertingkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri Johor. Antara usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di dalam menarik dan meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke negeri Johor adalah seperti yang berikut:

Pertama, memperhebatkan program promosi dan pemasaran dengan menyertai pameran pelancongan atau sales mission di dalam dan di luar negara. Memperbanyakkan penganjuran program lawatan, pengenalan produk pelancongan Johor atau familiarisation trip kepada penggerak-penggerak industri pelancong, media masa dan penulis pengembaraan atau travel writers dari dalam dan luar negara. Setakat ini, sebanyak 17 program yang telah dilaksanakan yang turut melibatkan peserta dari dalam dan luar negara iaitu Indonesia, India, Singapura dan Korea. Memperkasakan pemasaran secara atas talian atau online marketing dengan mewujudkan kuota pelancongan Johor dan juga media sosial seperti facebook, instagram dan juga twitter. Untuk makluman, kerajaan negeri juga di dalam rangkaan untuk mewujudkan Aplikasi Telefon Pintar Pelancongan Johor atau Tourism Johor Mobile Apps. Menggalakkan penganjuran acara pelancongan bertaraf antarabangsa dan nasional di negeri Johor di mana pada tahun ini kerajaan negeri telah bercadang untuk menganjurkan 3 acara pelancongan baharu iaitu Lady Bikers Tourism Ride 2018, Food and Art Festival 2018 dan juga Bangsa Johor Run 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu, memperluaskan penyebaran maklumat-maklumat pelancongan negeri Johor melalui penerbitan risalah pelancongan, kempen-kempen pengiklanan di majalah-majalah dan akhbar-akhbar utama di dalam dan di luar negara.

Keenam, mempelbagaikan produk pelancongan negeri Johor dengan menggalakkan kewujudan produk-produk pelancongan yang baharu yang berimpak tinggi, pada masa yang sama produk-produk pelancongan yang sedia ada juga akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa khususnya dari aspek infrastruktur serta kemudahan sokongan.

Ketujuh, memperbanyakkan pembangunan pakej pelancongan negeri Johor di mana pada tahun ini kerajaan negeri melalui Tourism Johor telah bekerjasama dengan NGO-NGO dan persatuan pelancongan untuk menyediakan pakej pelancongan yang bersedia untuk dipasarkan.

Kelapan, menarik lebih banyak syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa untuk beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai . Untuk makluman ketika ini, terdapat 11 laluan penerbangan domestik dan 6 laluan penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai iaitu dari Surabaya (Indonesia), Jakarta (Indonesia), Ho Chin Minh (Vietnam), Bangkok (Thailand), Guangzhou (China) dan Incheon (Korea Selatan).

Kesembilan, meningkatkan pembangunan modal insan di dalam industri dengan menganjurkan kursus atau latihan, bukan sahaja kepada penggiat-penggiat industri pelancongan tetapi juga kepada rakyat Negeri Johor secara amnya. Ini bertujuan bagi membantu meningkatkan kesedaran atau mutu perkhidmatan serta mewujudkan budaya mesra pelancong atau tourist friendly di kalangan rakyat Negeri Johor.

Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput... tak ada soalan tambahan. Perling.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Kita tahu sekarang ni zaman moden dan barangkali kita gunakan internet untuk dapatkan maklumat. Jadi, boleh tak daripada... saya nak tanya soalan pasal ada tak apa-apa kalau bandingkan dengan terdahulu dari segi promosi, dari segi internet, adakah langkah-langkah yang dibuat untuk menambah baik ataupun dari segi promosi dari situ.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Yang Berhormat Tuan Speaker, tidak dapat dinafikan bahawa pada zaman ini internet adalah sangat penting bagi semua pihak dan terutamanya dalam mempromosikan bidang pelancongan.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebelum ini sebenarnya internet atau laman web Tourism Johor sudah lama tidak dikemas kini. Apabila saya memegang portfolio ini, saya mendapati bahawa sebelum ini Kerajaan yang dulu, mereka bercadang untuk mengemaskinikan laman web tersebut dengan RM1.9 juta untuk mengemas kini laman web ini. Tetapi oleh sebab selepas saya mengkaji semula dan mendapati bahawa syarikat tersebut tidak memenuhi syarat-syarat dan tidak deliver apa yang telah dilaksanakan, yang telah dirancangkan. Dan kami telah memotong kadar bayaran sehingga RM600,000.00. Dan seterusnya saya akan terus memantau supaya laman web ini akan dikemas kini untuk mempromosikan pelancongan di Negeri Johor.

Speaker

Ya Permas.

Terima kasih YB Speaker. Sebagaimana kita ketahui, setiap tahun Kerajaan adakan Pesta Layang-Layang bertempat di Pasir Gudang. Soalan saya, apakah Kerajaan mempunyai perancangan tambahan lain selain daripada Pesta Layang-Layang yang diadakan setiap tahun? Cadangan saya kita adakan International Bike Week untuk Pasir Gudang diadakan setiap tahun. Terima kasih YB Speaker.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih ADUN Permas. Festival Layang-Layang ini memang adalah satu festival yang baik dan bertaraf antarabangsa dan saya juga turut menyertai dan melawat festival ini setiap tahun. Bagi menjawab soalan ADUN Permas, seperti apa yang tadi saya sebutkan, terdapat festival-festival yang akan dilaksanakan seperti Johor Food and Art Festival, ini di peringkat negeri dan saya juga menjemput atau menerima segala cadangan dari setiap ADUN sekiranya ada cadangan yang baik untuk mengadakan segala festival di tempat masing-masing.

Speaker

Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Tuan Speaker. Saya telah mengemukakan satu kertas kerja Lembaran Johor Tengah di mana mengintegrasikan pelancongan pertanian-pertanian dan pemprosesan makanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada EXCO Pertanian, kepada EXCO Pelancongan. Dan saya nak tanya, adakah terdapat apa langkah-langkah untuk melancarkan program ini? Saya percaya program ini akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi dan juga menarik banyak pelancong. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Terima kasih kepada ADUN Mengkibol. Menurut cadangan yang dikemukakan oleh ADUN Mengkibol, cadangan beliau telah melibatkan beberapa portfolio yang saya perlu mengadakan mesyuarat bersama dengan portfolio pertanian dan juga portfolio pengangkutan untuk merealisasikan cadangan beliau.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Machap.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.

Nyatakan keberkesanan kokurikulum di sekolah dalam membantu memupuk perpaduan kaum di sekolah.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam harapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Machap, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Machap. Saya lihat daripada soalan-soalan ini Yang Berhormat Machap yang betul-betul prihatin kepada isu-isu di peringkat sekolah. Pelajar-pelajar yang sebelum masuk ke alam universiti, saya lihat semua soalan yang saya terima saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Machap.

Jawapan bagi soalan YB Machap, aktiviti kokurikulum adalah medium yang paling ampuh untuk memupuk perpaduan kerana itu dalam pendidikan kokurikulum ianya meningkatkan tagline “perpaduan melalui kokurikulum”.

Dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum juga dimasukkan syarat penyertaan adalah penglibatan pelbagai kaum sama ada dalam aktiviti pasukan beruniform, kelab persatuan dan aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Melalui pemerhatian dan pengalaman keberkesanan aktiviti kokurikulum telah terbukti melalui dapat menyemai perpaduan kaum melalui kebersamaan murid pelbagai kaum melaksanakan aktiviti kokurikulum dan sukan secara bersama-sama. Ianya jelas telah berjaya mendidik mereka untuk saling memahami, boleh bekerjasama dalam satu kumpulan serta saling bantu-membantu dalam menyelesaikan satu tugasan, juga permasalahan yang diberi. Murid dari latar belakang dan kaum berbeza juga dilihat menunjukkan kejelikan yang tinggi kesan dari kekerapan melakukan aktiviti kokurikulum secara bersama-sama. Mereka juga dilihat mempamerkan nilai-nilai positif seperti hormat-menghormati serta saling membantu antara satu sama lain. Mereka juga boleh menerima perbezaan berdasarkan anutan agama dan keturunan. Terima kasih.

Speaker

Soalan tambahan.

Yang Berhormat Tuan Speaker. Machap mengucapkan terima kasih kepada jawapan yang telah diberikan oleh wakil EXCO Pendidikan yang Machap kira mahirlah menjawab soalan-soalan berkaitan dengan Pendidikan.

Soalan tambahan dari Machap iaitu tadi telah dijelaskan setiap pelajar diminta menyertai 3 unit iaitu satu unit badan beruniform, kemudian kelab sukan permainan dan satu lagi berkaitan dengan persatuan ataupun kesenian. Jadi antara ketiga-tiga ini, manakah yang lebih difikirkan penglibatan pelajar ini dapat lebih menjurus kepada perpaduan sesama pelajar yang berbilang kaum ini. Maknanya tadi 3 unit iaitu kelab sukan permainan, badan beruniform dan juga persatuan. Antara tiga-tiga ini, manakah yang lebih memberikan impak kepada memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Mohd Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Machap. Kalau kita lihat sekarang ini, berkenaan satu... saya fikir permainan. Masalah permainan sekarang ini pihak sekolah yang memilih untuk setiap murid di mana permainan-permainan mereka minat atau tidak minat, pihak sekolah akan letak mereka di situ. Tapi saya harap yang akan datang, pihak sekolah juga harus lihat di bidang permainan ini, memastikan bahawa kalau betul-betul budak itu minat, murid-murid itu minat dalam setiap permainan itu, bagilah mereka peluang untuk bermain permainan tersebut. Sebagai contoh kalau dia minat bermain bola sepak, bagilah dia peluang bermain bola sepak.

Kalau uniform ini saya rasa yang terbaik sebenarnya Yang Berhormat Machap, untuk kita daripada segi aktiviti yang dijalankan. Tetapi setakat ini kalau kita lihat pengalaman saya sebagai bapa, kebanyakan badan beruniform ini dia bergerak mengikut kaum juga kadang-kadang ya. Sebab kalau bidang bulan sabit merah, majoriti dan juga St John Ambulance, majoriti masyarakat Tiongoa. Kalau kadet polis, tentera, majoriti masyarakat Melayu. Jadi saya harap dan saya akan mohon Yang Berhormat EXCO Pendidikan nanti bila pulang, saya akan berbincang dengan dia, untuk memastikan bahawa kita perlu ada semua kaum dalam semua aktiviti yang diadakan. Insya-Allah saya akan bincang dan kalau boleh kita boleh duduk sama Yang Berhormat Machap kerana saya dimaklumkan Yang Berhormat Machap memang salah seorang yang arif tentang isu pendidikan. Terima kasih.

Speaker

Ok, saya tamatkan soalan lisan dan soalan tambahan setakat ini kerana sudah jam 11.00. Semua suka saya mengingatkan bahawa daripada soalan-soalan yang dikemukakan ini, yang ada sifatnya bersifat tempatan, elok dibawa dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah, tidak dibawa di dalam Dewan, kecualilah di peringkat Majlis Tindakan Daerah itu tidak melaksanakan apa yang kita harapkan. So boleh bawaklah dalam Dewan, tapi kalau ia boleh dilaksanakan di peringkat Majlis Tindakan Daerah, harus lebih baik soalan itu dikemukakan di sana. Jadi di Dewan ini kita boleh menumpukan isu-isu berkaitan dengan polisi dan sebagainya.

Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Soalan Bertulis.Questions

Jurutulis

Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas Meja Mesyuarat.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan ini disambung sekarang. Jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, jemput.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, selamat harapan, salam sayangi Malaysiaku. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya menyambung sesi penggulungan, saya terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Osman Osman, rakan-rakan Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat ADUN dan kesemua Jabatan-Jabatan agensi Kerajaan di atas kejayaan Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 yang diadakan semalam di Persada Johor bertemakan Johor Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari.

Majlis pelancaran semalam bernatijahkan 2 perkara:

1. Kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan 10 janji tawaran Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari sebagaimana yang telah dijanjikan.

2. Pelancaran Gerak Kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 dengan 8 teras utama yang di asas ataupun pillars dengan izin kepada hala tuju pembangunan Johor bagi mencapai status Negara Berprestasi Tinggi menjelang 2030.

Saya berharap majlis pelancaran semalam dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh beberapa Yang Berhormat Pembangkang tentang apakah bentuk hala tuju pembangunan Negeri Johor di bawah pemerintahan Pakatan Harapan Johor? Apa yang penting sekarang ini adalah untuk kita semua bekerjasama sebagai satu pasukan bagi menjayakan dalam bentuk realiti Pelan Pembangunan Johor 2019-2030 tersebut. Pepatah Inggeris dengan izin Yang Berhormat Tuan Speaker ada menyatakan, “if you want to go fast go alone, if you want to far go together”.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat beberapa perubahan ke arah penambahbaikan terutama dari segi ketelusan dalam sistem rumah mampu milik bagi memastikan setiap rumah mampu milik yang dibina sampai kepada kumpulan sasaran khususnya B40 dan juga M40. Langkah pertama yang telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan Johor ialah dengan memansuhkan Kuota Menegak Kerajaan ataupun ringkasnya KMK yang diberikan kepada parti komponen Barisan Nasional yang dahulu khususnya parti UMNO. Kuota ini telah dihapuskan selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bertarikh 12 Jun 2018. Kuota ini dimansuhkan bagi memastikan agihan rumah mampu milik ini sampai kepada kumpulan sasaran. Kuota ini juga dilihat tidak telus dan sangat terdedah kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa seperti berlakunya tangkapan kepada salah seorang Ketua Pemuda UMNO dengan rakan wanitanya yang melibatkan tawaran rumah mampu milik berjumlah RM120,000.00.

Langkah yang kedua yang dilaksanakan adalah menawarkan 50% diskaun kepada penyewa Program Perumahan Rakyat ataupun ringkasnya PPR jika mereka membayar kesemua tunggakan sewa. Langkah ini adalah selari dengan 10 tawaran dalam 100 hari kerajaan Pakatan Harapan Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, langkah ketiga yang diambil oleh kerajaan Johor adalah memperkenalkan Sistem Perumahan 2 Mampu Milik Johor ringkasnya SP2MJ pada 27 Julai 2018 berkuat kuasa 1 Ogos 2018. SP2MJ ini adalah merupakan satu sistem agihan Perumahan Rakyat Johor secara terbuka. Sistem ini tidak lagi berdasarkan kepada permohonan mengikut lokasi tetapi adalah mengikut projek yang dibuka dalam tempoh tertentu. Projek perintis bagi sistem SP2MJ seperti yang boleh kita layari dalam portal e-rumah.johor adalah di Taman Daiman, Kota Tinggi dan juga Taman Bandar Putera, di Segamat. Objektif sistem baru ini adalah mewujudkan sistem pengagihan rumah mampu milik yang lebih telus dan memberikan peluang yang lebih adil kepada pembeli-pembeli rumah mampu milik di negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, langkah yang keempat yang diambil oleh kerajaan negeri adalah menubuhkan taskforce kajian semula Dasar Perumahan Rakyat Johor. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, tiada lagi semakan atau kajian berkenaan Dasar Perumahan Rakyat Johor selepas daripada tahun 2014 dilakukan. Tujuan taskforce kajian semula ini bagi memastikan Dasar Perumahan Johor agar sentiasa kekal relevan, dihormati serta boleh mendepani isu-isu terkini dalam industri perumahan. Beberapa kelemahan loop hole, dengan izin yang terdapat dalam dasar tersebut akan diberi penambahbaikan agar pihak pemaju khususnya tidak menggunakan kelemahan tersebut untuk tidak membina rumah mampu milik yang sangat diperlukan oleh rakyat Johor kerana sehingga ini terdapat 115,515 senarai menunggu waiting list, dengan izin untuk mendapatkan rumah mampu milik di negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin memberi jawapan terhadap beberapa persoalan berkaitan dengan pembangunan luar bandar. Sungai Balang dan Pasir Raja ada menyentuh tentang prosedur pelantikan jawatan ketua kampung serta kelayakan dan kriteria yang diperlukan bagi menjawat jawatan ketua kampung. Sebelum itu, saya ingin membetulkan statement atau kenyataan YB Pasir Raja yang menyebut kerajaan negeri telah menamatkan perkhidmatan 1,700 ketua kampung. Sebenarnya kerajaan negeri hanya menamatkan perkhidmatan seramai 674 sahaja ketua kampung. Saya tidak pasti daripada mana angka tersebut diperolehi oleh Yang Berhormat Pasir Raja dan lain kali juga perlu perangkaan lebih tepat, boleh berhubung dengan saya, insya-Allah. Selain daripada kampung induk yang ada ketua kampung di Johor, kita memiliki lebih kurang 2,075 kampung rangkaian.

Yang Berhormat Tuan Speaker, menurut Pekeliling Am Kerajaan Johor Bilangan 3 Tahun 2018, kriteria pelantikan, dan cara pelantikan dinyatakan dengan jelas seperti berikut :

1. Ketua kampung hendaklah terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan berketurunan Melayu kecuali kampung-kampung yang asalnya diketuai oleh ketua kampung yang bukan Melayu.

2. Berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, SPM ataupun SPMV dari sekolah menengah, teknik, vokasional atau lain-lain kelulusan yang setarafnya dengannya.

3. Kelayakan lain seumpama walaupun tidak mempunyai kelulusan seperti yang dinyatakan sebelum ini tetapi pandai membaca, menulis serta mempunyai sifat-sifat ketakwaan pada dirinya, maka pemohon tersebut boleh dipertimbangkan.

4. Bukan dari kalangan kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat.

5. Umur tidak kurang daripada 25 tahun.

6. Bermastautin di kampung berkenaan.

7. Tiada rekod jenayah.

8. Aktif dan cergas dalam gerakan-gerakan pertubuhan, persatuan kerja-kerja amal serta menunjukkan ketokohan kepimpinan dalam bidang kemasyarakatan.

9. Mendapat kepercayaan dan penghormatan daripada majoriti penduduk kampung.

10. Mempunyai kesihatan fizikal dan mental.

11. Mempunyai sifat-sifat takwa. Jadi ketua kampung ini, Yang Berhormat Speaker, kena bertakwa.

Cara pelantikan. Apa yang berlaku kekosongan jawatan ketua kampung, Pegawai Daerah dikehendaki mengumumkan pada orang ramai melalui iklan dalam surat khabar. Untuk

pengetahuan Dewan yang mulia ini, bekas-bekas ketua kampung terdahulu juga dibenarkan untuk membuat permohonan.

Kedua, setelah diterima permohonan, sesi temu duga akan diadakan oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Ketua Kampung yang dianggotai oleh Pegawai Daerah sebagai Pengerusi dan ahli-ahli yang terdiri daripada ketua kampung oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, Penolong Pegawai-pegawai daerah, kadi daerah, penghulu-penghulu dan pegawai kerajaan yang difikirkan sesuai oleh Pegawai Daerah. Jawatankuasa ini tidak melibatkan pimpinan parti politik bagi memberikan pemilihan ketua kampung dibuat secara lebih telus.

Ketiga, Pegawai Daerah akan membuat akuan kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan berpandukan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemilihan Ketua Kampung.

Yang Keempat, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor akan memajukan akuan di atas kepada Yang Berhormat Menteri Besar Johor untuk keputusan muktamad. Dan insya-Allah pelantikan ketua kampung di negeri Johor akan kita selesaikan dalam bulan September yang akan datang kerana arahan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, 1 haribulan 10 adalah merupakan tarikh penyelesaian pelantikan ketua-ketua kampung di seluruh negara.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin menjawab seterusnya beberapa persoalan yang diajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama. YB Rengit, Sungai Balang, Penawar dan Parit Raja ada membangkitkan tentang pendirian kerajaan Pakatan Harapan Johor tentang isu LGBT, dengan izin, Lesbian, Gay, Bisexsual and Transgender. Suka saya nyatakan bahawa pendirian kerajaan Pakatan Harapan Johor adalah berpaksikan kepada ajaran Islam itu sendiri yang merupakan agama persekutuan dalam negara kita. Sebagai seorang Islam, ingin saya tegaskan, kita langsung tidak bersetuju tindakan yang dilakukan oleh golongan LGBT yang merangkumi lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, penukaran jantina, perlakuan menyerupai wanita dan yang sebaliknya. Dan juga kecenderungan seks sesama jenis. Bagi meredakan keadaan ekoran daripada isu LGBT yang lebih banyak dipolitikkan daripada mencari penyelesaian yang bersifat holistik bagi membawa mereka pulang ke pangkal bagi menjalani kehidupan normal selari dengan fitrah manusia itu sendiri.

Suka saya menyatakan dalam Dewan yang mulia ini, pendirian kerajaan negeri tentang isu LGBT. Pertama, amalan gaya hidup LGBT adalah satu dosa dan diharamkan oleh Islam kerana ianya jelas bertentangan dengan fitrah manusia itu sendiri. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud menyatakan sesungguhnya baginda Nabi SAW melaknat para lelaki yang menyerupai wanita dan para wanita yang menyerupai lelaki. Jika amalan LGBT ini dilakukan secara terbuka, maka ianya adalah satu dosa yang diharamkan oleh Islam serta merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan undang-undang mengikut peruntukan enakmen atau akta yang sedia ada pada masa sekarang ini seperti Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Negeri Johor. Sebagai contoh, Fasal 25 menyatakan hukuman terhadap lelaki yang melakukan liwat ataupun gay, manakala Fasal 26 menyatakan hukuman terhadap wanita yang melakukan musahaqah, hubungan seks sesama jenis ataupun lesbian. Fasal 28 pula menyatakan hukuman kepada mana-mana lelaki yang memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di mana-mana tempat awam. Dan Fasal 29 pula menyatakan hukuman kepada mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan hukuman syarak di mana-mana tempat awam.

Yang Berhormat Tuan Speaker, jika amalan LGBT ini dilakukan secara tersembunyi tanpa saksi maka ia merupakan satu dosa antara si pelaku dengan Allah SWT Walaupun perbuatan tersebut, walau bagaimana pun perbuatan tersebut tetap merupakan satu dosa dan diharamkan oleh ajaran Islam kita.

Yang keempat, walaupun seseorang individu itu mengamalkan gaya hidup LGBT iaitu berdosa dan diharamkan oleh Islam tetapi keterlibatannya dalam gaya hidup songsang

LGBT itu tidak akan menghilangkan hak mereka dalam perkara-perkara yang lain terutamanya kehidupan dalam bernegara. Sebagai warganegara dalam sebuah negara yang merdeka, di mana setiap rakyat mempunyai hak seperti hak untuk mendapatkan pendidikan, hak untuk mendapatkan pekerjaan, hak untuk mendapatkan rawatan kesihatan, hak untuk mendapatkan perlindungan keselamatan, hak untuk berjual beli, bahkan hak untuk memiliki harta tanpa sebarang diskriminasi.

Berdasarkan kesimpulan dan dapatan daripada kajian JAKIM selama 8 tahun dan juga merupakan kajian ilmiah antaranya oleh Dr. Izwan Yusof, Teh Yik Koon dan Professor Madya Dr. Rafidah Hanim, mereka telah menyimpulkan kesukaran golongan transgender ataupun mereka yang mengalami kecelaruan jantina mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan ditetapkan oleh majikan serta adat dan budaya merupakan antara faktor yang mendorong mereka menjadi pekerja seks kerana mengganggap mereka tidak diterima oleh masyarakat. Keperluan untuk mendekati golongan transgender, enggagement dengan izin, dan memahami selok belok kaedahnya supaya dapat menarik mereka berjinak diri dengan ilmu Islam, ilmu agama sehingga akhirnya keluar daripada perlakuan yang dilaknati oleh Allah SWT adalah suatu tuntutan dakwah. Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan normal adalah merupakan satu ibadah dan beroleh pahala yang besar. Kita tidak boleh hanya melaknat dan memulaukan tanpa ada pihak khususnya pihak berwajib yang mendekati mereka dan memberi peluang secara lunak dan bersasar. Dalam konteks dakwah fardiah ataupun individu, pendekatan secara “al-nasihah bil hikmah”, perlu dilakukan tanpa mendahulukan ancaman dan laknat sebelum menjelaskan, menjelas dan mendekati. Demikian metodologi dakwah yang diajar dalam al-Quran apabila Nabi Allah Musa AS diperintahkan mengadap firaun dengan kata-kata yang lemah lembut seperti disebut dalam surah Taha ayat 43 dan 44 dan juga maksud surah An Nahl ayat 125 “serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik”. Suka saya menegaskan dalam Dewan yang mulia ini, enggagement dengan izin, mengadakan perbincangan dengan golongan LGBT berbeza daripada mengiktiraf perjuangan LGBT. Keadaan menjadi kalut bila ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh bagi mendapat kepentingan mileage politic dengan isu enggagement yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan LGBT ini.

Berdasarkan kepada beberapa kajian oleh pihak JAKIM, komuniti LGBT Muslim di Malaysia terbahagi kepada 3 kategori. Dan kategori yang perlu diberi penekanan serta bimbingan ialah golongan yang mahu berubah dan berhijrah serta mengakui bahawa perlakuan mereka menyalahi agama. Bagi kategori ini perlu digerakkan dialog berterusan untuk sama-sama saling memahami agar mereka tidak terus terpesong. Hanya selepas itu pendekatan lain wajar disusun dan dimulakan. Jabatan Agama Islam Negeri Johor sebagai sebuah institusi yang menguruskan agama Islam di negeri Johor amat memandang serius isu yang berkaitan dengan LGBT. Jabatan Agama Islam Negeri Johor begitu komited dalam melaksanakan, dalam melaksanakan tugas-tugas amal makruf dan nahi mungkar kepada seluruh umat Islam di negeri Johor termasuk golongan LGBT. Justeru, Jabatan Agama Islam Negeri Johor sentiasa berusaha untuk melakukan tugas-tugas dakwah bagi memberikan kesedaran nasihat dan bimbingan kepada LGBT. Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah dan sedang melaksanakan kelas-kelas bimbingan dan program kesedaran secara berterusan. Usaha-usaha untuk mendekati golongan ini telah dilakukan oleh Jabatan sejak tahun 2016 dengan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, NGO seperti Intan Lifezone, MyHijrah dan juga Ratu Maharani.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sejak tahun 2016 hingga kini kelas bimbingan Fardu Ain dan Al-Quran telah dilaksanakan secara berkala setiap minggu di Masjid Tun Hussein Onn, Larkin. Pada masa yang sama program motivasi dan kesedaran juga program sempena hari-hari kebesaran Islam juga dilaksanakan bagi membantu golongan ini untuk kembali kepada fitrah. Ringkasnya Yang Berhormat Tuan Speaker, ajaran Islam saya rasa memberi peluang dan harapan untuk manusia kembali kepada khaliknya, penciptanya yakni Allah SWT melalui taubat selagi nyawa belum sampai ke halkum.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tiga hari lepas saya ada melihat satu infografik YB Parit Raja yang diviralkan dalam media baru dan saya rasa dan yakin infografik ini mempunyai niat yang tidak baik. Infografik ini bertajuk “Program Iqra dan Fardu Ain ditamatkan, LGB diperjuangkan”. Dan kandungan infografik tersebut adalah,” apa rasionalnya kerajaan hari ini iaitu Pakatan Harapan sebagai kerajaan negara Islam apabila menamatkan program yang baik seperti Program Iqra dan Fardu Ain kemudian mengiktiraf perjuangan LGBT yang bertentangan dengan ajaran Islam”.

Saya nak bertanya kepada Parit Raja, semenjak bila kerajaan Pakatan Harapan Johor mengiktiraf perjuangan LGBT. Daripada kenyataan saya sebutkan sebentar tadi, pendirian dan sikap kerajaan Pakatan Harapan Johor dalam isu LGBT sangat jelas dan kenyataan Parit Raja sangat berbaur fitnah. Saya juga nak menyatakan Parit Raja, beliau tahu atau tidak fakta di sebalik apa yang beliau dakwa bahawa kerajaan Pakatan Harapan Johor menamatkan Program Iqra dan Fardu Ain tersebut. Kalau tidak tahu, saya nasihatkan selalu-selalulah bertabayyun, mengkaji maklumat yang beliau dapat terdahulu sebelum membuat kesimpulan yang salah. Kan, dalam Al-Quran Allah menyebut (Firman Allah), “ Wahai orang-orang...

Speaker

Yang Berhormat, tabayyun tu apa?

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Tabayyun ini menyemak dan mengkaji maklumat yang kita perolehi sebelum kita membuat keputusan berdasarkan kepada maklumat tersebut. Jika maklumat ini kita tidak tabayyun, tidak selidiki, kita bimbang kita akan membuat satu keputusan yang salah terhadap sesuatu pihak yang akhirnya menyebabkan kita akan menyesal di atas tindakan kita tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk pengetahuan Parit Raja, Program Iqra dan Fardu Ain yang dinyatakan tersebut merujuk kepada Program Iqra dan Fardu Ain yang dijalankan di TABIKA KEMAS kerana kelas Fardu Ain dan juga Iqra di institusi lain masih diteruskan di negeri Johor. TABIKA KEMAS menjalankan Program Iqra dan Fardu Ain semenjak 2014 dengan menggunakan peruntukan dari pejabat mantan Menteri Besar Johor yang lalu yang melibatkan 240 TABIKA KEMAS dalam 26 Parlimen di negeri Johor dengan melibatkan peruntukan RM1.647 juta dari pejabat mantan Menteri Besar yang lalu.

Apabila berlaku peralihan kuasa pada bulan Mei yang lalu, maka program tersebut tertangguh sementara sehingga permohonan peruntukan semula diterima daripada pihak KEMAS. Mengikut semakan yang saya buat di pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sehingga sekarang masih belum lagi menerima permohonan daripada pihak KEMAS untuk mendapatkan peruntukan bagi meneruskan program tersebut. Jadi, di mana benarnya dakwaan YB Parit Raja bahawa kerajaan Pakatan Harapan Johor menamatkan Program Iqra dan Fardu Ain ini. Jadi, tuduhan Parit Raja menyatakan kerajaan Pakatan Harapan Johor menamatkan Program Iqra dan Fardu Ain ini adalah tidak betul dan sangat berniat jahat bagi memberikan imej yang buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan Johor. Saya dengan ini mendesak supaya Yang Berhormat Parit Raja menarik balik kenyataan beliau tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan Pakatan Harapan Johor. (Dewan bertepuk).

Firman Allah SWT (Firman Allah), “fitnah itu lebih zalim daripada membunuh”. Saya suka mengingatkan kita semua dalam Dewan yang mulia ini hentikan daripada mengamalkan politik fitnah, politik perkauman, politik membakar sentimen keagamaan kerana politik yang sebegini tidak sangat membantu dalam pembentukan sebuah negara bangsa seperti Johor yang kita sayangi ini. Marilah kita berubah kepada era politik baru iaitu politik berasaskan kepada hujah dan juga fakta. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Tuan Speaker, ada berapa minit lagi?

Speaker

Agak-agaklah Yang Berhormat.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Izinkan untuk saya Yang Berhormat Tuan Speaker untuk meneruskan menjawab beberapa persoalan yang ditujukan kepada Jawatankuasa Agama Negeri Johor.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, 10 insentif dalam 100 hari Pakatan Harapan Johor, 3 insentif telah dipertanggungjawabkan di bawah Portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan antaranya ialah :

1. Kursus Pra Perkahwinan percuma seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor semasa hari kedua Persidangan Dewan yang mulia sebanyak RM1.44 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor untuk manfaat 12,000 pasangan yang ingin berkahwin untuk kali pertama sahaja. Kali kedua kena pakai duit sendiri, Yang Berhormat Tuan Speaker.

2. Skim Takaful Warga Emas negeri Johor yang telah dilancarkan pada 5 Ogos 2018 di Pekan Parit Yaani. Skim ini ataupun takaful ini melibatkan warga Johor yang berumur 60 tahun ke atas. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM560,000.00 untuk 11,200 penerima untuk fasa yang pertama.

3. Insentif Harapan Siswa seperti yang telah diperdetailkan oleh Yang Berhormat EXCO Sukan sebelum daripada ini.

Alhamdulillah, ketiga-tiga insentif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih kepada rakan-rakan Pakatan Harapan Johor dalam merealisasikan inisiatif ini. Tidak lupa kepada pembangkang yang sentiasa mengambil berat dan cakna dengan apa yang sedang Pakatan Harapan lakukan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, jika sebelum pilihan raya lalu BN sering mempermainkan isu kononnya Melayu dan Islam akan tertindas jika Pakatan Harapan memerintah. Alhamdulillah, selepas Pakatan Harapan menang, memang Melayu masih ada. Yang Amat Berhormat Menteri Besar masih seorang Melayu Islam dan agama Islam masih ada. Saya harapkan dan nasihatkan agar BN terimalah hakikat memainkan isu agama dan perkauman sudah tidak lagi berkesan kepada rakyat Johor kerana rakyat semakin bijak menilai sesuatu perkara.

Yang Berhormat Speaker dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, agama Islam di bawah pemerintahan kerajaan dari Pakatan Harapan terus diperkasakan. Saya sendiri komited memastikan Islam akan membawa rahmat untuk semua. Rahmatullah lil alamin. Sudah pasti salah satu perkara untuk memastikan Islam terus berkembang dan subur adalah melalui pendidikan, pendidikan agama Islam akan terus diperkasakan di bawah kerajaan dari Pakatan Harapan. Sebagai permulaan sebanyak RM20,000.00 telah diperuntukkan kepada setiap sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan menengah, SABK rendah dan SMKA. Sekolah yang menerima bantuan ini adalah seperti berikut :

1. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Menengah, sebanyak 20 buah sekolah, RM20,000.00 setiap sekolah melibatkan peruntukan RM400,000.00.

2. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Rendah, melibatkan 8 buah sekolah, RM20,000.00 setiap sekolah melibatkan jumlah peruntukan RM160,000.00.

3. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) yang melibatkan 5 buah sekolah, RM20,000.00 peruntukan setiap sekolah melibatkan RM100,000.00.

Dan jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM600,000.00. Penyerahan bantuan RM20,000.00 ini telah diadakan pada 5 Ogos 2018 di Pekan Parit Yaani yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian.

Saya rasa saya akan ringkaskan Yang Berhormat Tuan Speaker dan saya rasa saya akan akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun. Satu saya copy daripada Internet, satu saya karang sendiri. Daun sireh di dalam dulang, menjadi hantaran majlis berdaulat, rakyat dibela pemimpin dijulang,Malaysia merdeka kekal berdaulat. Pergi ke pasar membeli tenggiri, jangan lupa si daun saderi, negeri berprestasi tinggi hala tuju negeri, bangsa Johor bestari harapan disandari. Sekian, Kota Iskandar mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih YB EXCO. Yang Amat Berhormat Datuk, jemput.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor · Kempas

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam harapan dan selamat pagi. Yang Berhormat Tuan Speaker, pertama kali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat sekalian atas kualiti perbahasan yang saya lihat lebih telus dan terbuka. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker kerana memberikan ruang dan peluang untuk saya menggulung perbahasan yang diutarakan oleh sekalian Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Yang Berhormat sekalian juga tampil dengan perbahasan yang sangat konstruktif serta memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat tanpa mengetepikan tatasusila, adab berbahas seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak mahu melihat Dewan yang mulia ini dijadikan sarkas. Alhamdulillah pada pagi ini, kita diberikan kekuatan untuk bersama-sama membawa satu harapan baharu bagi negeri Johor. Ini agar hasilnya nanti dapat dimanfaatkan oleh anak-anak bangsa Johor di masa hadapan. Sebelum saya menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan sepanjang perbahasan Dewan kali ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucap terima kasih atas keyakinan dan sokongan padu yang dinyatakan dengan jelas, tegas terhadap kepimpinan kerajaan baru yang diterajui oleh saya. Rasa rendah diri saya ingin menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mengurus tadbir negeri ini. Saya dan semua ahli pentadbiran akan menjalankan tugas dan amanah atas nasihat serta pandangan bernas Duli Yang Maha Mulia.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan dan keyakinan yang dinyatakan dalam hujah-hujah yang disampaikan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat, Senggarang, Stulang, Sedili, Penawar, Tenang, Sri Medan, Kemelah, Buluh Kasap, Pasir Raja, Permas, Tenggaroh, Tanjung Surat, Pemanis, Larkin juga Pulai Sebatang. Saya yakin sokongan kepercayaan diberikan ini tidak dibuat secara membuta tuli kerana Yang Berhormat sekalian sendiri dapat melihat kemampuan kami melaksanakan janji-janji dalam manifesto serta mempunyai hala tuju yang jelas untuk memajukan negeri Johor. Sesungguhnya permuafakatan dalam kerja berpasukan itu lebih berkat. Justeru itu, saya menyambut sokongan pelbagai pihak dengan rasa rendah diri, dengan tekad untuk menjadikan Johor negeri termaju, berpengaruh di rantau ini. Saya dengan rasa rendah diri mengajak semua pihak untuk bersama-sama memberikan yang terbaik untuk bangsa Johor. Sesi Persidangan kali ini amatlah istimewa, berbanding sebelumnya kerana saya dulu duduk sana, duduk sini dan ini pertama kali semenjak saya menjadi Menteri Besar, saya menggulung segala perbahasan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Keistimewaan ini bukan sahaja merujuk kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baru tetapi juga kepada perhatian yang diberikan oleh Yang Berhormat sekalian terhadap janji-janji yang dibuat sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, isu yang dibangkitkan di dalam Dewan ini juga, tidak lari daripada menyentuh mengenai tawaran yang dibuat kerajaan negeri. Antaranya YB Sedili, Yang Berhormat Machap, Yang Berhormat Layang-Layang dan juga Yang Berhormat Semarang, masing-masing ada membangkitkan mengenai 10 janji 100 hari yang ditawarkan kepada rakyat Johor sebelum ini.

Saya agak terkilan dengan soalan-soalan yang dibangkitkan kerana persoalan yang ditimbulkan seolah-olah menunjukkan mereka tidak peka dengan isu semasa atau mungkin tinggal dalam khayalan. Kerajaan negeri telah pun melaksanakan semua janji-janji yang ditawarkan itu. Antaranya, janji untuk menghapuskan Kuota Menegakkan Kerajaan dalam pembahagian rumah mampu milik. Kalau dahulu dipanggil rumah murah dan pengecualian bayaran lesen penjaja di semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan. Pelaksanaan janji-janji juga telah kami uar-uarkan melalui media massa.

Malah, petang semalam saya juga telah membentangkan visi dan misi serta hala tuju yang ditetapkan negeri ini untuk 10 tahun yang akan datang. Sebab itu, saya kata mereka ini seperti katak bawah tempurung. Tidak mengambil tahu apa yang berlaku dan hanya tahu membangkang sahaja. Kalau hendak tahu apa pelan pembangunan tersebut, datanglah semalam, lihatlah laporan media hari ini ataupun facebook.

Semua janji-janji ini telah pun kami laksanakan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kami. Janji-janji ini bukan sekadar dibuat dengan meraih sokongan atau undi rakyat tetapi ia benar-benar memberi manfaat kepada mereka semua. Saya hendak menjelaskan dan menegaskan di sini bahawa kepimpinan baharu bukan seperti yang terdahulu, hanya tahu menabur janji manis untuk memenangi hati rakyat, kemudian dihampakan. Saya beri contoh, antara janji yang boleh diibaratkan menabur tebu di tepi bibir, kerajaan dahulu dalam manifesto 2013 menyasarkan setinggan sifar, 2005.Bagaimanapun, agenda setinggan sifar gagal dilaksanakan. Menteri Besar yang lepas hanya fokus menyelesaikan setinggan di Parlimen Pasir Gudang. Di Parlimen saya masih tertunggak begitu ramai setinggan-setinggan bahkan bertambah dari masa ke semasa, begitu juga di pesisiran pantai dan sungai.

Lagi satu janji adalah menyiapkan 121 buah sekolah agama. Akibat tadbir urus yang tidak cekap, projek berkenaan terbengkalai sehingga kerajaan negeri terpaksa mengambil alih 77 buah sekolah yang belum siap dan 18 sekolah yang masih dalam tempoh tanggungan kecacatan bagi memastikan sekolah agama berkenaan tidak jadi projek gajah putih.

Kerajaan negeri melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, telah terpaksa menanggung kos sehingga lebih kurang RM240 juta melibatkan pembayaran tertangguh selama 10 tahun yang akan datang. Apa yang menjadi persoalan, adalah bagaimana kerajaan negeri membuat pertimbangan ketika itu melantik sebuah syarikat MySis Development Sdn. Bhd. yang jelas tidak berkemampuan menyiapkan projek sekolah agama (SAKJ) sehingga kerajaan negeri kemudiannya terpaksa menanggung ganti rugi. Itu baru sakit sikit yang saya dedahkan, banyak lagi janji-janji yang telah tidak dilaksanakan dalam kerajaan sebelum ini.

Janji manifesto dalam Pilihan Raya Yang Ke-13 ada 12, satu sahaja dilaksanakan iaitu BRIM. Harga kereta turun, tak ada, setinggan sifar, tak ada, 15,000 rumah murah tak ada. Dulu, kita lihat semuanya hancur, pemindahan Orang-Orang Asli di Bekok, di Stulang, Tebing Runtuh, buat rumah murah Pendas Laut, pemindahan PTP dijanjikan dengan penduduk Gelang Patah, Nusajaya, semuanya tak jadi. Janji-janji semua dicapati.(Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Tuan Speaker, sekarang saya ingin menyentuh mengenai tawaran-tawaran yang disebutkan dalam manifesto Pakatan Harapan, iaitu mengenai mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak lebih dua penggal yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jementah dan Layang-Layang. Secara rasanya, kami tidak di pihak. Pakatan Harapan telah mencapai persetujuan bersama untuk memberikan tempoh maksimum dua penggal untuk jawatan Menteri Besar mentadbir. Tempoh ini dirasakan paling sesuai untuk melaksanakan segala pelan pembangunan yang dirancang. Ini juga dipersetujui di peringkat persekutuan, di mana seorang yang memegang jawatan Perdana Menteri juga tidak boleh melebihi dua penggal. Had masa tersebut juga dibuat memastikan ketelusan dalam urusan pentadbiran. Persetujuan yang dicapai secara konsensus ini dicapai oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang melibatkan 4 parti.

Justeru itu, tiada keperluan untuk mengadakan satu pindaan buat masa ini untuk memansuhkan klausa yang mengehadkan jawatan Menteri Besar tidak melebihi dua penggal semata-mata untuk menunjukkan keikhlasan dan kejujuran kita terhadap rakyat, kerana kami di pihak Pakatan Harapan berpegang kepada prinsip dan dasar pentadbiran.

Hapus kuota menegakkan kerajaan. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Semarang mengenai tindakan kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan Kuota Menegak Kerajaan. Ini juga merupakan salah satu manifesto yang telah terlaksana. Pemansuhan KMK ini dibuat merupakan satu sistem yang tidak adil kepada rakyat Johor kerana sistem ini memberikan hampir 20% dari jumlah rumah mampu milik kepada ketua-ketua parti kerajaan terdahulu.Ini kemudian diagihkan kepada penyokong mereka. Malah KMK ini juga memberi ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah dengan menjual sijil KMK ini kepada orang dengan harga yang tidak masuk akal. Sebagai contoh yang berlaku, sebagai mana yang juga dinyatakan oleh EXCO Perumahan tadi, saya, melibatkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kes penipuan pembelian RMMJ. Tapi kes ini hilang, senyap begitu saja, senyap saja. Ha inilah, banyak lagi kes yang besar-besar, saya tak nak sebut, nanti contempt of court yang berlaku. Kerajaan negeri berpendirian bahawa pengagihan rumah mampu milik perlu dilakukan secara terus dan saksama kepada semua yang berkelayakan tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik mereka. Saya kira ini mungkin, tindakan memberikan kuota tertentu ini seperti ada udang di sebalik batu. Demi meraih sokongan pengundi hingga sanggup merampas hak orang lain.

Seterusnya, mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan separa kemahiran. Antara 10 janji 5 tahun kerajaan negeri adalah menyediakan 200,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, Yang Berhormat Rengit ada membangkitkan perkara ini. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, kita sedia maklum berbagai-bagai projek mega dalam peringkat pembinaan di negeri Johor ini. Projek-projek ini di unjur menyumbang limpahan ekonomi secara berterusan kepada Johor untuk beberapa tahun ke hadapan nanti, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Jumlah 200,000 peluang pekerjaan bukan sekadar angka yang diangkat tanpa dinilai dan dikaji. Ratusan ribu peluang pekerjaan, lonjakan nilai hartanah, pemindahan teknologi dan kemasukan industri berdaya maju adalah limpahan manfaat bakal dinikmati rakyat Johor. Antaranya, menerusi projek-projek Iskandar Puteri, Pengerang, Pontian, Mersing dan berbagai lagi. Pelaksanaan projek ini adalah pemangkin yang menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi di Barat Daya Johor. Di Iskandar Puteri contohnya, kemajuan yang sedang rancak berlaku dengan aura pembangunan pintar hijau dapat dirasai. Iskandar Puteri melambangkan geo baru dan era pemodenan Johor hari ini. Bukan sahaja menjadi bandar raya maju, moden dan terbaik, malah simbol ingatan berkekalan rakyat kepada sejarah Johor ini.

Pada bulan Julai yang lalu, saya bersama Unit Swadaya Insan Negeri Johor, telah melakukan sesi lawatan di Medini 7, bagi melihat lebih dekat perkembangan pembangunan yang diurus tadbir oleh I2M Venture Sdn. Bhd. di bawah Program GBS Iskandar. Sewaktu sesi perbincangan, telah dimaklumkan kepada saya terdapat empat syarikat baru akan bertapak di sini, dengan menawarkan peluang pekerjaan kemahiran tinggi. Untuk jangka masa empat atau lima tahun ke hadapan, lebih kurang 14,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan, hanya di Iskandar Puteri tidak termasuk kawasan lain di seluruh Johor, Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Kemudian, kita lihat pula di Pengerang, yang dahulunya sebuah kawasan perladangan dan kampung nelayan, kini membangun dengan pesat. Adanya projek Kompleks Bersepadu Pengerang atau PIC, Pengerang Intergrated Complex. Ini memberi kesan menyeluruh di kawasan itu, malah limpahan ekonomi hiliran kepada komuniti setempat. Kemudian, kita lihat pembangunan Desaru Coast sehingga Tanjung Balau berkaitan projek pelancongan bertaraf antarabangsa dengan jenama terkenal sini sedang rancak berlaku dan juga akan berlaku. Antaranya, pembinaan Hotel Anantara, Hotel Hard Rock Café, Desaru Coast

Adventure Water Park dan pelbagai lagi. Bagi fasa pertama pembangunan ini akan membuka peluang pekerjaan lebih daripada 1,700 dan keseluruhan 4,000 menjelang 2021. Ini tidak termasuk di Senai, di Sedenak, pelancongan di Mersing, di Tanjung Bin, di Tanjung Piai, pemodenan penternakan, nelayan dan pertanian yang boleh menjurus kepada peluang-peluang pekerjaan. Setiap manifesto atau janji yang diwar-warkan kepada rakyat saling berhubung kait. Contohnya, apabila kita bercakap mengenai pusat hasilan makanan utama negara. Banyak negara asing akan memilih untuk melabur dan membuka syarikat mereka, beroperasi di negeri Johor ini.

Kita mengalu-alukan mereka berbuat demikian tetapi dengan mengenakan syarat tertentu bagi menetapkan jumlah atau kuota tertentu, tenaga kerja mahir yang terdiri daripada warga Johor. Ini secara tidak langsung membantu kita mencapai sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan dalam masa 5 tahun seperti yang dijanjikan, selain projek-projek yang saya sebutkan tadi.

Begitu juga dengan hasrat membangunkan Koridor Johor Utara yang dibuat berdasarkan keunikan dan keistimewaan, sesuatu kawasan yang menyokong pembangunan lestari di sebuah daerah atau wilayah di Johor ini. Ini sebahagian contoh perancangan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam tempoh 5 tahun pentadbiran. Oleh yang demikian, sebagai maklum balas kepada Yang Berhormat Panti dan juga Yang Berhormat Rengit, tidak perlulah gusar kerana saya seorang yang menepati janji dan bertanggungjawab. (Dewan bertepuk). Projek-projek yang dinyatakan merupakan projek berimpak tinggi, yang mampu menawarkan pekerjaan berkualiti tinggi. Kita sebagai kerajaan negeri bukan cakap kosong ataupun menyatakan sesuatu yang mustahil untuk dicapai dek akal, apatah lagi sekadar berpeluk tubuh. Namun, gerak kerja ke arah pencapaian objektif sasaran 200,000 peluang pekerjaan, insya-Allah akan kita realisasikan. (Dewan bertepuk).

Pengurusan Perbelanjaan Kewangan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, YB Jementah ada menyatakan bahawa kegusaran mengenai kedudukan kewangan kerajaan negeri yang mencatatkan surplus atau lebihan tetapi berkurangan setiap tahun. Senario ekonomi global dan perkembangan semasa banyak memainkan dalam merancang pengurusan ekonomi dan pembangunan negeri. Kedudukan masa ekonomi global pasti akan memberi impak kepada rantau ini. Pada Malaysia dan pastinya juga adalah negeri Johor. Kita perlu belajar daripada krisis-krisis masa silam dan berusaha untuk mengelakkan ketidakseimbangan melampau yang boleh menyebabkan tekanan terhadap ekonomi dan kewangan. Walau kemajuan dan kemajuan besar yang telah dicapai sejak beberapa tahun yang lalu membolehkan kita mengukuhkan daya tahan meningkatkan perkembangan asas ekonomi kewangan. Masih banyak cabaran yang perlu diatasi dari masa ke semasa. Bagi menjamin prospek pertumbuhan kita perlu berwaspada serta mempunyai keupayaan dan tekat yang tinggi untuk bertindak melalui langkah-langkah awalan dalam mengatasi tanda-tanda kelemahan dan risiko dan ketidakseimbangan. Ketidaktentuan ekonomi global pada ketika ini merupakan waktu yang amat sesuai untuk mempercepatkan langkah-langkah pembaharuan cabaran utama kerajaan negeri adalah mengekalkan momentum pertumbuhan pasaran hartanah di Johor yang mana ia berkait rapat dengan hasil negeri Johor. Umumnya pasaran hartanah di negeri Johor sebagaimana kebanyakan negeri lain di Malaysia mengalami penyusutan pada tahun 2017 yang mana ianya merupakan antara sumber utama hasil bagi negeri Johor.

Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah tahun 2017 jumlah transaksi dan jumlah nilai pasaran hartanah negeri Johor masing-masing telah menurun 3.1 peratus dan 4.3 peratus berbanding tahun 2016 dengan subsektor kediaman kekal mendahului bahagian terbesar pada 64.1 peratus. Kerajaan negeri menerusi kajian yang sedang dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri menjangkakan bahawa pasaran hartanah pada tahun-tahun akan datang kekal mencabar dan bergantung kepada langkah tindakan oleh pihak kerajaan khususnya berhubung polisi berkaitan ekonomi dan sektor hartanah.

Secara amnya, hasil kerajaan negeri boleh dikategorikan kepada Hasil Berulang dan Hasil Tidak Berulang. Hasil Berulang ialah hasil yang akan dikutip setiap tahun seperti Cukai Tanah, Cukai Air Mentah, Road Charge dan Faedah daripada Simpanan Tetap. Manakala Hasil Tidak Berulang adalah hasil yang hanya dikutip berdasarkan projek-projek pembangunan dan permohonan-permohonan yang diterima seperti bayaran Premium Tanah, bayaran proses kepada Pejabat Tanah, lesen - lesen dan pulangan daripada agensi-agensi.

Secara keseluruhannya, kedudukan kewangan kerajaan negeri Johor adalah baik. Walaupun surplus mengalami penurunan dari tahun 2013 sehingga 2017, ia tidak menjejaskan lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan yang terus mencatatkan peningkatan. Antara fokus utama yang mempengaruhi perubahan surplus dari tahun 2013 sehingga 2017 adalah disebabkan Projek-projek pembangunan terutamanya Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang telah memasuki fasa seterusnya, di mana bayaran Premium Geran telah dijelaskan pada tahun-tahun sebelumnya yang secara tidak langsung bayaran premium yang besar tidak lagi diperolehi. Trend penurunan surplus tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Pengurusan kewangan awam tidak sama seperti sebuah syarikat yang berasaskan keuntungan yang perlu meningkatkan keuntungan dari masa ke semasa. Kewangan awam perlu menjurus kepada pengagihan efektif di mana hasil yang dikutip perlu dilaburkan dengan digunakan semula ke arah perbelanjaan yg produktif dan menjana ekonomi negeri Johor.

Sebab itu terdapat negara-negara yang mensyaratkan secara perlembagaannya bahawa penyata kewangannya perlu dalam keadaan berimbang sahaja dan tidak mempunyai surplus. Namun pendekatan ini dikhuatiri akan menjadikan sesebuah negeri itu tidak bersedia dengan rizab yang kukuh. Oleh itu, negeri Johor mengambil pendekatan melaksanakan pengagihan perbelanjaan yang optimum dengan mengecilkan surplus apabila matlamat rizab yang kukuh telah dicapai. Bagi mengukuhkan kestabilan fiskal dengan memastikan kemapanan kewangan jangka panjang negeri Johor. Perbendaharaan Negeri Johor telah menyeru kepada semua Jabatan / Agensi Kerajaan termasuk Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah. Iaitu dengan memotong perbelanjaan yang tidak mempunyai keutamaan seperti pakaian korporat jabatan-jabatan dan program-program dan juga mengelakkan dari pembaziran dalam mengadakan majlis jamuan secara besar-besaran.

Selain itu, kerajaan negeri akan terus berusaha menjadikan Johor sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing dan domestik dalam Malaysia. Ini juga antara langkah yang utama bagi mengekalkan kemapanan hasil negeri dengan adanya projek-projek baru dan berkualiti.

Hala Tuju Dan Pelan Pembangunan. Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya saya ingin menghapuskan keraguan Yang Berhormat Benut ini, kadang-kadang kesian juga tentang hala tuju pelan pembangunan negeri. Saya rasa amat terkilan dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau.

Pertamanya saya rasa dengan hujah YB Benut yang meminta agar segala program yang baik untuk rakyat untuk diteruskan adalah sangat dangkal dan tidak faham bahasa. Kerajaan baharu ini bukanlah kerajaan yang naïf. Kita semua ini mempunyai pengalaman yang hebat-hebat (dewan bertepuk). Mungkin YB Benut kuat tidur tak sengaja buat tidak mahu tahu sahaja sudah berulang kali menegaskan mana-mana inisiatif yang baik akan diteruskan malah akan ditambah baik berdasarkan keperluan semasa. Antaranya, pemberian insentif kepada anak Johor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT diberikan RM750.00. Insentif ini tetap diteruskan malah diperluas kepada IPTS dan nilainya dinaikkan kepada RM 1,000.00. pulak.

Meneruskan program bas percuma dengan menambah lagi laluan bas antaranya di Muar dan Pagoh yang mempunyai keperluan mendesak agar sistem pengangkutan ditambah baik

memandangkan pembangunan pesat di daerah tersebut begitu juga di tempat-tempat lain dalam proses pelaksanaan. Saya juga tidak faham mengapa kerajaan terdahulu tidak memikirkan mengenai laluan ini kerana populasi di kawasan tersebut diketahui akan bertambah dengan kewujudan Hab Universiti Pagoh.

Pengukuhan pembangunan berdasarkan keunikan daerah atau wilayah seperti Muar sebagai hab perabot dengan melibatkan keseluruhan koridor utara Johor. Meneruskan dasar-dasar sebelum ini di kawasan Malay Belt dengan izin terutamanya di kawasan perindustrian Larkin untuk dijadikan kawasan rizab Melayu. Saya ambil maklum kebimbangan YB Benut dalam memperjuangkan hak-hak rakyat tetapi saya kira ini kenyataan yang menyedihkan. Seolah-olah mengajar kami mentadbir urus kerajaan negeri sedangkan selama ini kita menjadi pembangkang kami juga tidak henti-henti memperjuangkan isu rakyat. Mana ada kerajaan yang hendak melihat kegagalan sesuatu pelan pembangunan yang dirancang demi kepentingan politik. Lainlah kerajaan terdahulu yang mengamalkan prinsip 4P, Pembohong, Penyamun yang dua lagi fikir-fikirlah.

Tindakan Yang Berhormat Benut ini saya anggap seperti mengajar ketam, mengajar anak ketam berjalan betul. Saya sendiri lebih senior daripada YB Benut. Tetapi saya tidak nafikan kerajaan terdahulu ini walaupun dilabel dengan Janji Dicapati ada juga melaksanakan perkara yang baik. Ini sudah berulang kali saya sebut, mana-mana program yang baik untuk rakyat akan kita teruskan malah ditambah baikkan.

Tetapi cabaran utama dalam kita melaksanakan pelan pembangunan yang telah saya bentangkan semalam adalah integriti. Selepas 60 tahun mentadbir kerajaan terdahulu telah meninggalkan kita dengan banyak masalah yang perlu kita uruskan. Ini antara yang menjadi penghalang kepada pelaksanaan program-program pembangunan yang dirancang.

Projek RTS dan HSR. Selain itu Yang Berhormat Benut turut meminta penjelasan mengenai projek-projek yang melibatkan kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang mana Benut menyatakan meminta agar kerajaan Negeri bertegas dan hanya menuruti sahaja keputusan kerajaan pusat. Projek yang disebutkan adalah projek Rapid Transit System (RTS) antara Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura dan juga projek High Speed Rail (HSR). Saya sangkal perkara ini. Projek RTS tidak dihentikan dan secara prinsipnya akan diteruskan. Kertas memorandum berkaitan projek ini akan dibentangkan di Parlimen dalam jangka masa terdekat.

Tetapi daripada segi prinsipnya kabinet telah meluluskan projek tersebut. Projek tersebut menelan belanja kira-kira RM4 bilion namun kajian sedang terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti jumlah sebenar memandangkan kerajaan negeri perlu menebus tanah dan membayar pampasan untuk projek berkenaan. Kerajaan negeri mempunyai alasan kukuh untuk meneruskan projek ini kerana ia memberi manfaat kepada rakyat. Di samping itu juga projek RTS merupakan salah satu penyelesaian kepada kesesakan di Tambak Johor.

Mengenai projek HSR, kerajaan Persekutuan tidak membatalkan projek berkenaan sebaliknya ia ditangguhkan sehingga satu tempoh bagi memberi ruang kepada kajian semula mengenai kos projek berkenaan yang dirasakan terlalu mahal sehingga mencecah RM110 bilion walaupun kos pada awalnya kerajaan terdahulu menyatakan bahawa kos projek HSR hanyalah RM55 bilion. Kerajaan pusat kini sedang dalam peringkat kajian memandangkan kos pembinaan dan unjuran peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi yang tidak berbaloi dengan kos projek tersebut.

Yang Berhormat Tuan Speaker, mengulas mengenai projek HSR ini juga saya ingin memperbetulkan apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Buloh Kasap yang meminta agar projek ini percepatkan untuk menarik pelabur asing datang ke Johor sekali gus membangunkan sektor ekonomi di kawasan yang terlibat. Projek HSR ini bukan semata-mata ingin menarik pelabur asing untuk tinggal di sini tetapi lebih kepada pelancong asing. Contohnya kalau projek ini diteruskan ia akan melibatkan pekerja asing semasa proses pembinaannya tetapi selepas projek selesai mereka akan pulang ke negara masing-masing.

Tetapi hasilnya nanti, jika projek ini diteruskan, akan menjadi tarikan kepada pelancong asing untuk datang ke negara ini dan juga merancakkan pertumbuhan ekonomi di jajaran terlibat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bas Harapan Johor Dan Slogan Muafakat Johor. Sedeli, Sungai Balang dan Panti membangkitkan soal Bas Harapan Johor. Berkenaan isu rebranding nama Bas Muafakat kepada Bas Harapan. Apa yang ingin saya nyatakan, mana-mana pentadbiran kerajaan baru pasti akan membuat ‘rebranding’ dengan izin bagi melambangkan imej yang bersesuaian dengan pentadbiran kerajaan yang baru. Perkara yang lebih penting adalah manfaat kepada rakyat seperti baru-baru ini kerajaan negeri telah memperkenalkan laluan baru Bas percuma ini iaitu di laluan Pagoh-Muar.

Laluan ini selain daripada manfaat kepada rakyat jelata Daerah Muar, perkhidmatan laluan ini juga akan banyak meringankan kos sara hidup mahasiswa dan mahasiswi di Hab Universiti Pagoh. Perluasan ini lebih penting berbanding isu rebranding nama. Yang Berhormat Tuan Speaker, Insya-Allah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri akan memastikan insentif bas percuma ini diperluaskan mengikut keperluan dan kesesuaian masa.

Saya seterusnya merujuk kepada perkara yang dibangkitkan Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Machap dan Yang Berhormat Penawar berhubung menggunakan slogan Muafakat Johor yang tiada kaitan dengan politik. Kerajaan baru tetap menggunakan muafakat cumanya ia diubah menjadi Muafakat itu Berkat. Ini tagline dengan izin, kerajaan baharu Pakatan Harapan kerana setiap pemimpin itu mempunyai pendekatan ataupun identiti sendiri yang disesuaikan dengan pentadbiran semasa. Penggunaan slogan Muafakat itu Berkat juga sebagai terjemahan pentadbiran saya dan barisan ahli mesyuarat kerajaan negeri yang sentiasa bersama-sama berganding bahu. Saya rasa barisan kepimpinan yang ada kini melambangkan Team Johor yang melambangkan permuafakatan sebenar. Sentiasa bersama bekerja dalam pasukan. Bukannya seperti pemimpin dahulu yang melaungkan slogan Muafakat dan Team Johor tetapi gambarnya dia tengok langit, tengok langit sorang-sorang. (Dewan bertepuk). Saya hari ini, tengok, saya sorang, barisan EXCO saya. Amacam? OK? (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Tuan Speaker saya ingin menjawab pertanyaan daripada Yang Berhormat Sungai Balang dan juga Yang Berhormat Panti berkaitan pelucutan dan pelantikan Ketua Kampung. Walaupun ketika ini jawatan Ketua Kampung masih belum di isi oleh mana-mana individu lagi, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan untuk semua penghulu di setiap DUN bagi menggalas sementara tanggungjawab berkenaan, sekali gus melancarkan proses sokongan kerajaan negeri untuk manfaat masyarakat. Pemilihan Ketua Kampung akan selesai tidak lama lagi dan Kerajaan Johor akan umum pelantikan ketua kampung untuk 674 jawatan kosong di seluruh negeri ini menjelang awal September ini. Pemilihan Ketua Kampung kali ini mengambil sedikit masa untuk memastikan setiap individu yang dilantik benar-benar layak untuk berkhidmat kepada masyarkat.

Kerajaan negeri telah membuat temuduga secara terbuka dan lebih telus dan tidak melibatkan individu daripada Parti Politik sebagai panel temuduga. Ia hanya melibatkan Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah dan KADI Daerah. Ini membuktikan kerajaan negeri Johor yang baru ini tidak sama seperti Kerajaan yang lalu mempolitikan pemilihan Ketua Kampung. (Dewan bertepuk). Dengan melibatkan Ketua Bahagian, ADUN dalam pemilihan Ketua Kampung, Perkara seperti ini tidak akan berlaku dalam sistem pentadbiran dibawah kepimpinan saya sebagai Menteri Besar Johor. Kerajaan negeri akan pastikan individu yang layak berdasarkan merit akan dipilih sebagai Ketua Kampung bukan hanya berdasarkan politik semata-mata.

Seterusnya, Yang Berhormat Senggarang dan Larkin ada membangkitkan isu pemilikan kekal ke atas tanah kerajaan. Yang berhormat Senggarang ada memberi cadangan untuk memberi status hak milik kekal kepada tanah–tanah pajakan berstatus pertanian. Yang Berhormat Larkin juga membangkitkan isu pemilikan tanah dan kediaman di kawasan Larkin

Jaya dan Kampung Melayu Majidee yang telah dirizabkan sebagai kawasan rizab Melayu untuk dijadikan hak milik kekal.

Secara dasarnya, pemberimilikan ke atas sesuatu tanah kerajaan hendaklah tidak melebihi dari tempoh 99 tahun sebagaimana peruntukan Seksyen 76(a) Kanun Tanah Negara (KTN) 1965. Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-64 pada 23 Disember 2008 telah menetapkan bahawa pemberimilikan dalam bentuk kekal boleh dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri, apabila Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati akan wujudnya keadaan-keadaan khasdi sesuatu kawasan. Ianya diterjemahkan dengan jelas untuk dijadikan rujukan Pihak Berkuasa Negeri melalui Pekeliling KPTG. Bil. 1/2011 (Kaedah Perlaksanaan Dasar Pemberian Tempoh Pegangan Baru Tidak Melebihi 99 Tahun Bagi Tanah-Tanah Milik Berstatus Pajakan Negeri Dan Pajakan Mukim) iaitu :

i. Pemberimilikan tanah kerajaan untuk tempoh pegangan selama-lamanya boleh dipertimbangkan bagi tanah-tanah kerajaan bersifat “tanah saku” (pockets land) yang dipohon yang kemudiannya akan dicantumkan dengan tanah-tanah bersebelahan yang berpegangan selama-lamanya, yang dipunyai oleh tuan tanah yang sama.

ii. Pemberimilikan dalam bentuk kekal juga ialah untuk tanah-tanah yang asalnya adalah pegangan kekal tetapi kemudiannya diserahkan kepada kerajaan dan diberi milik semula kepada tuan punya tanah melalui proses Serah Balik Kurnia Semula (SBKS).

iii. Pemberimilikan dalam kes-kes di mana Kerajaan mengambil tanah yang berstatus kekal melalui Akta Pengambilan Balik Tanah (PBT) 1960 tetapi apabila tanah itu tidak dikehendaki oleh Kerajaan dan hendak diberimilik semula kepada tuan tanah asal, adalah difikirkan adil jika tanah itu diberimilik untuk selama-lamanya.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri Johor, manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu antara lain memberikan komitmen untuk memberikan status tanah pajakan 99 tahun untuk Kampung Melayu, Kampung Tradisi, Kampung Tersusun dan Kampung Baru. Mana yang dah 40 tahun, 99 tahun yang dah habis 59 tahun boleh mohon panjangkan lagi 99 tahun. Tempat-tempat yang saya sebutkan ini, seluruh negeri Johor. Itu tercatit dalam manifesto kita dan sudah kita laksanakan. Hari ini, boleh dipohon.

Dari sudut nilaian hartanah, tempoh pajakan 99 tahun ini bolehlah dikatakan dengan izin as good as free hold. Habis 99 tahun, tambah lagi. Habis 99 tahun, tambah lagi. Insya-Allah, kerajaan Pakatan Harapan sampai 80 tahun memerintah, insya-Allah benda ini berterusan.(Dewan bertepuk). Tambahan pula Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 telah menambah peruntukan Seksyen 90A yang membolehkan Tuan Tanah memohon sambungan tempoh pajakan pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh pajakan untuk dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Untuk maksud tersebut, Pentadbiran Tanah akan diminta bagi meneliti dan memperhalusi mana-mana permohonan mahupun cadangan untuk menukar status pajakan tanah bagi tapak perumahan dan pertanian kepada status pegangan selama-lamanya, bagi dibawa untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri. Di samping itu, perlu juga diteliti dari aspek premium yang akan dikenakan, kerana tiada lagi kutipan premium bagi sambung pajakan sekiranya sesuatu permohonan hak milik dengan pegangan selamanya dipersetujukan.

Saya seterusnya merujuk kepada isu yang dibangkitkan Senggarang yang juga prihatin dengan isu pencemaran bauksit di Batu Pahat. Pembangunan sumber mineral di Negeri Johor adalah tertakluk kepada Enakmen Mineral Negeri Johor 2003 yang telah pun diwartakan sebagaimana WKJ 880 bertarikh 22 April 2004 dan berkuatkuasa mulai 1 Mei 2004. Manakala bagi Peraturan-Peraturan Mineral 2012 telah diwartakan pada 14 Februari 2013, bagaimanapun WKJ Bil. 432. Proses pengeluaran Lesen Melombong bermula di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian atau PTG Johor di mana pemohon perlu menyediakan Laporan Pra Kebolehlaksanaan (Pre Feasibility Study) yang lengkap oleh Jurutera

Perunding yang bertauliah. Permohonan yang diterima oleh PTG seterusnya akan dirujuk kepada beberapa jabatan/agensi teknikal seperti Pejabat Tanah Daerah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Plan Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum diluluskan.

Secara umumnya, aktiviti pengeluaran mineral bauksit di Negeri Johor pada masa ini adalah terkawal dan dipantau rapi oleh PTG serta jabatan, agensi Kerajaan berkaitan. Namun demikian, Yang Berhormat Senggarang sebagai jentera Kerajaan Pakatan Harapan di lapangan amat responsif dan peka terhadap apa jua kebimbangan rakyat termasuklah pengumpulan dan pengagihan bauksit di Mukim Minyak Beku, Batu Pahat. Ia berada di dalam makluman dan perhatian rapi Kerajaan Negeri Johor. Pentadbiran Tanah dengan diketuai sendiri oleh Pengarah Tanah dan Galian Johor bersama-sama Pentadbir Tanah Daerah dan jabatan serta agensi Kerajaan berkaitan yang lain telah duduk semeja dalam beberapa siri perbincangan bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan ini. Bahkan para operator juga telah dipanggil untuk diberikan peringatan tegas supaya mematuhi prosedur kelulusan termasuk syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal.

Tindakan awal yang telah dipersetujui beberapa siri perbincangan di antaranya :

i. Pihak Operator diminta segera mematuhi segala syarat yang dikenakan oleh agensi-agensi teknikal.

ii. Pemantauan Agensi Penguatkuasa secara bersepadu melibatkan PTG, PTD, JAS, JMG, JPJ akan dilaksanakan secara serta merta.

iii. Aktiviti pengeluaran dan mengangkut bauksit hanya boleh dilaksanakan pada waktu siang sahaja iaitu pada pukul 7:00 pagi hingga 7:00 malam sahaja.

iv. Bagi menangani Isu pencemaran habuk dan kotoran, ekoran daripada aktiviti pengeluaran dan pemindahan bauksit dan syarikat berkaitan perlu memasang wheel washer di pintu keluar, memasang perimeter drain di sekeliling kawasan pengumpulan dan pengagihan bauksit, menyediakan sediment containment pond, memasang bumbung di stokpiles dan memastikan lori membawa bauksit ditutup dengan plastik.

Dalam masa yang sama, pihak Pentadbir Tanah diminta untuk mengambil tindakan awal di atas pelanggaran syarat tanah di atas tanah bermilik kategori pertanian yang digunakan sebagai tapak pengumpulan stockpiles bauksit dan juga pelanggaran syarat pajakan tanah rizab yang diberikan bagi tujuan jeti persendirian di Lot 3077A Mukim Minyak Beku, Batu Pahat.

Yang berhormat Machap dan Buluh Kasap juga telah membangkitkan isu pemilikan tanah kawasan masing–masing.

Bagi Yang Berhormat Machap, Pentadbiran Tanah Johor telah menerima permohonan tanah kerajaan oleh 231 orang di Kampung Haji Hamzah, 408 orang di Kampung Haji Paya, 245 orang di Kampung Seri Maju Jaya dan 203 orang di Kampung Bukit Nyamuk.

Bagi Yang Berhormat Buluh Kasap, Pentadbiran Tanah Johor telah menerima permohonan tanah kerajaan oleh penduduk di Jelebak, Ladang Bukit Bujang 1 dan Bukit Bujang 2.

Bagi kedua-dua kes di atas, Permohonan ini telah diproses di peringkat Pejabat Tanah Daerah dan permohonan ini akan dibawa pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri pada tahun 2018. Untuk makluman Yang Berhormat, pentadbiran ini telah menetapkan sasaran dalam Key Performance Index (KPI) dalam menyelesaikan permohonan-permohonan tanah berkelompok ini pada tahun 2018.

Bukit Naning dan Yong Peng membangkitkan isu pemilikan tanah di kawasan beliau. Pemberimilikan tanah bagi pemohon-pemohon yang layak adalah sebagaimana syarat dan

peruntukan yang telah ditetapkan dalam Kanun Tanah Negara 1965. Kelulusan pemberimilikan ini adalah terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan peruntukan Seksyen 42 dan Seksyen 79 Kanun Tanah Negara 1965. Pentadbiran Tanah Johor menegaskan tidak berlaku kesilapan dalam prosedur pemberimilikan atas tanah-tanah tersebut, memandangkan ianya telah dilaksanakan mengikut prosedur yang sewajarnya dan dibuat dengan suci hati tanpa sebarang kepentingan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 22 Kanun Tanah Negara 1965 demi kesejahteraan ke semua pihak.

Berdasarkan rekod Pejabat Tanah Daerah, tiada aduan secara rasmi diterima berkaitan pertindihan pemberimilikan hak milik sebagaimana yang dinyatakan oleh Bukit Naning dan Yong Peng. Pentadbiran Tanah Johor juga tidak menafikan terdapat kes terpencil di mana kurniaan yang terdahulu tidak mengambil kira sempadan tanaman yang telah diusahakan atau bangunan yang telah dibina sebelum kurniaan diberikan. Namun, Pentadbiran Tanah Johor sedia membantu dalam menyelesaikan perkara ini dan meminta pihak pemilik tanah yang berkenaan untuk tampil ke Pejabat Tanah Daerah dalam memudahkan tindakan penyelesaian. Bagi permohonan tanah kerajaan di Bukit Betaling, Mukim Chaah, Daerah Batu Pahat, Pihak Berkuasa Negeri telah memberikan keputusan kepada kepada pemohon.

Selain itu, Pihak Berkuasa Negeri berhak melupuskan tanah kerajaan dengan cara pemberian Lesen Pendudukan Sementara atau LPS bagi membenarkan pendudukan secara sah di bawah peruntukan Seksyen 65 Kanun Tanah Negara 1965. Jika tanah kerajaan tersebut telah di ceroboh dengan tanaman kekal iaitu kelapa sawit, Pihak Berkuasa Berkuasa Negeri boleh memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ataupun Tapping Right mengutip hasil tanaman dengan kadar RM10.00 hingga RM100.00 sepokok setahun, bagi bergantung kepada jenis tanaman dan usia tanaman sebagaimana Pekeliling PTG Bilangan 1/2008.

Selain itu, Pihak Berkuasa Negeri juga telah menetapkan bayaran LPS Tambahan iaitu denda kepada pemohon kerana telah menceroboh tanah kerajaan. Bayaran LPS dan LPS Tambahan ini adalah sangat rendah berbanding hasil yang telah diperolehi.

Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih atas perhatian dan pandangan Yang Berhormat Senggarang, berhubung isu aktiviti pengeluaran bahan batuan mahupun mineral yang berlaku di tebing-tebing sungai. Sebagaimana yang umum mengetahui, pengambilan pasir dari sungai-sungai adalah satu aktiviti yang telah lama dijalankan. Pasir merupakan bahan utama dalam industri pembinaan terutamanya yang melibatkan binaan konkrit dan jalan raya. Sumber pasir yang paling banyak dan mudah didapati ialah dari dasar sungai-sungai yang terdapat di negeri ini. Demi memelihara khazanah negeri termasuk tanah dan sumber air, saya komited untuk memastikan mana-mana permohonan berkaitan aktiviti pengeluaran bahan batuan dan mineral di negeri Johor akan diteliti secara holistik sebelum sesuatu kelulusan diberikan. Ini bagi memastikan khazanah negeri itu bukan sahaja boleh menjana hasil kepada kerajaan negeri yang boleh digunakan untuk program-program pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga dalam masa yang sama tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.

Merujuk kepada isu pengeluaran pasir di FELDA Tenggaroh 13, Mersing, semakan awal mendapati ianya berlaku di PTD 207 dan PTD 15206 Mukim Tenggaroh serta Lot 20473 Mukim Mersing. Ketiga-tiga tanah ini adalah kepunyaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan diberi pajakan keseluruhannya kepada FELDA Global Ventures Plantation (Malaysia) Sdn Bhd. Terdapat permohonan permit pengeluaran dan pengalihan bahan batuan (pasir) dan daripada beberapa syarikat yang diberi kebenaran oleh FELDA untuk melaksanakan kerja-kerja pengeluaran pasir. Permohonan di bawah Seksyen 71 dan 72 Kanun Tanah Negara ini telah pun memperoleh kelulusan daripada Pentadbir Tanah Mersing pada 6 Februari 2018 dan kelulusan tersebut akan berakhir pada 31 Disember. Namun demikian, sekiranya berlaku pelanggaran atas mana-mana syarat kelulusan, Pentadbir Tanah boleh mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk membatalkan kelulusan tersebut.

Yang Berhormat Panti juga membangkitkan isu perlombongan pasir secara haram dan tidak sah di sepanjang sungai. Untuk makluman, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bersetuju agar pihak Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pengorekan pasir sungai di Barrage Sungai Johor yang berhampiran dengan Kampung Panti dan Kampung Kelantan. Ia bagi memastikan kedalaman sungai tersebut berada di paras 4.0 meter. Maka, kontraktor telah dilantik dalam melaksanakan kerja-kerja penstabilan aliran sungai menerusi kaedah pengorekan pasir sungai. Pejabat Tanah Daerah Kota tinggi telah mengeluarkan permit 4C iaitu pengalihan bahan batuan iaitu pasir sungai kepada kontraktor yang berkenaan. Pemantauan sentiasa dilaksanakan oleh Pentadbiran Tanah Johor dan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dalam memastikan kontraktor berkenaan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) akan mengambil tindakan dengan mengarahkan kontraktor berkenaan membaik pulih tebing tersebut sekiranya terdapat tebing runtuh. Selain itu, semakan pentadbiran ini mendapati tiada operasi pengeluaran pasir sungai di Kampung Orang Asli Sayong Pinang. Walau bagaimanapun, Pentadbiran Tanah Johor mengalu-alukan maklumat dari masyarakat agar pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Yang Berhormat Kahang membangkitkan isu permohonan tanah sawah Kampung Sri Lukut. Kawasan sawah di kawasan Kampung Sri Lukut adalah kawasan rizab sawah sebagaimana Kahang Irrigation Area seluas 880 ekar bersamaan 356.124 hektar. Pelan warta G 1-51 bil. Warta 319 bertarikh 27.04.1950. Permohonan yang dimaksudkan sedang diproses di Pejabat Tanah Daerah Kluang dan sedang menunggu ulasan jabatan teknikal iaitu Pejabat Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Permohonan ini akan dibawa pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri dan kerajaan negeri boleh menimbangkan sama ada memberi milik, memberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atau pajakan tanah rizab di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara 1965.

Pemantauan Glc Dan Agensi Kerajaan Dan Badan Berkanun. Seterusnya saya ingin menjawab persoalan Mengkibol dan Larkin berkaitan projek-projek yang mencurigakan di bawah kerajaan negeri terdahulu. Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan memeriksa pengurusan kewangan terutama yang melibatkan projek-projek yang mencurigakan di bawah perlaksanaan kerajaan yang terdahulu. Ini sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan kewangan kerajaan negeri tidak disalahgunakan sama sekali. Cadangan penubuhan jawatankuasa khas khusus berkaitan isu ini akan dipertimbangkan untuk memastikan tiada pertindihan tanggungjawab Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Jabatan Audit Negara Negeri Johor. Sekiranya Jawatankuasa khusus ini menjadi satu keperluan, kerajaan negeri akan umumkan. Sekiranya Yang Berhormat sekalian mempunyai sebarang maklumat berkaitan projek-projek yang mencurigakan boleh laporkan terus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Jabatan Audit Negara, negeri Johor untuk diambil tindakan susulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk membuat forensik audit dengan izin terhadap projek-projek yang mencurigakan. Namun perkara ini masih lagi dipertimbangkan setelah mengambil kira kos untuk melantik perunding yang agak tinggi selain dibimbangi laporan akhir yang dibuat perunding berpihak kepada mereka yang mempunyai kepentingan.

Pulau Batu Putih. Seterusnya saya ingin menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Benut dan Layang-Layang mengenai pendirian kerajaan Johor mengenai keputusan kerajaan pusat untuk tidak meneruskan rayuan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan keputusan pada tahun 2008 melibatkan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura. Kerajaan negeri sentiasa konsisten dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih. Apatah lagi Pulau Batu Putih ini adalah dalam kawasan negeri Johor. Acap kali saya berjumpa dengan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia bagi membincangkan isu di atas, setelah kerajaan pakatan harapan memimpin kerajaan Johor dan pusat. Ini kerana, rundingan

rayuan semula tuntutan ke atas Pulau Batu Putih di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Kerajaan Johor sentiasa menyokong segala keputusan kerajaan persekutuan mengenai tuntutan Pulau Batu Putih. Jadi, tak timbullah mengatakan saya ini tak tahu sejarahlah, duduk diam tak ambil tindakan. Kalau dulu pun, kerajaan negeri pun berkiblatkan kerajaan persekutuan. Kita ada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya kena refer balik dan berbincang. Ini keluar dalam surat khabar, fitnah, mengatakan saya tak tahu sejarah. Saya tak buat sesuatu. Yang dia dulu tak buat sesuatu, saya pun tak pernah nak ganggu. Gasak engkaulah. Kerajaan pusat telah meneliti secara mendalam sekiranya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan ICJ. Pulau Batu Putih menjadi konflik dalam isu pertindihan wilayah perairan Malaysia dan Singapura sejak dulu lagi. Keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 memihak kepada Singapura. Walaupun isu jarak perairan antara Batu Putih dan Johor lebih hampir, namun pihak ICJ telah meneliti dari pelbagai aspek yang lain.

Kerajaan Pakatan Harapan merasakan kerajaan Barisan Nasional yang selalu bersikap cuai dan tidak mengambil kisah kepada Pulau Batu Putih pada satu ketika dahulu. Ini kerana, berdasarkan ringkasan penghakiman no. 2008/1 bagi penghakiman bertarikh 23 Mei 2008, kerajaan Johor ketika itu hanya berdiam diri ketika Singapura memasang alat komunikasi pada tahun 1977 dan tidak menghiraukan cadangan Singapura untuk membuat penambakan laut di perairan Batu Putih. Jadi, siapa yang tak peka. Siapa yang tutup mata? Jawablah. Johor juga tidak membuat apa-apa tanda pemilikan ke atas pulau berkenaan. Tindakan itu mengakibatkan peluang untuk menuntut semula pulau tersebut terlalu tipis dan menelan kos yang tinggi untuk dituntut ketika ini. Nasi sudah menjadi bubur. Kerajaan Pakatan Harapan bertekad untuk memastikan tiada lagi usaha–usaha luar untuk mencabar kedaulatan Johor. Kita akan pertahankan bermati-matian kalau ada mereka-mereka yang cuba mencabar kedaulatan negeri Johor. Namun kerajaan negeri mempunyai strategi-strategi tertentu untuk memastikan kedaulatan negeri ini sentiasa terpelihara.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ketirisan Aktiviti Pembalakan. Saya ingin menjawab soalan YB Senggarang yang menyatakan banyak berlaku ketirisan dalam aktiviti pembalakan. Kekeliruan yang berlaku akibat daripada ketidakpatuhan kepada piawaian kerja yang standard (standard of procedure) seperti yang diajukan oleh Yang Berhormat mungkin berpunca daripada permasalahan individu (manusia). Perkara ini pernah diajukan oleh Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). Dalam menangani isu ini, pihak Kerajaan Negeri bersama Jabatan berkaitan sering melaksanakan program dan aktiviti yang dapat meningkatkan integriti penjawat awam seperti ceramah dan dialog bersama pihak SPRM. Sekiranya terdapat sebarang salah laku atau pegawai yang melanggar peraturan serta melibatkan isu integriti seperti yang bersekongkol dengan pihak kontrak dalam melalukan aktiviti yang tidak sihat, pihak Jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap kakitangan yang terlibat. Malahan sekiranya didapati bersalah mereka akan diambil tindakan lanjut dan dirujuk kepada Lembaga Tata Tertib ataupun pihak Polis.

Selain daripada itu juga, Jabatan sentiasa melaksanakan sekatan jalan raya bersama-sama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat semakan terhadap jentera pengangkutan kayu balak untuk melihat jika Pas Pemindah kayu yang sah dimiliki oleh mereka bagi mengelakkan ketirisan berlaku melalui pengeluaran kayu tanpa pembayar cukai. Untuk makluman Yang Berhormat Senggarang, sepanjang tahun 2015 hingga 2017 jabatan telah melaksanakan tiga (3) kali pertukaran ataupun pusingan kerja bagi pegawai-pegawai hutan kumpulan sokongan gred G19 hingga G29, khas buat pegawai yang telah bertugas melebihi 5 tahun pada satu-satu tempat bagi memberikan suasana kerja yang baru. Ini juga selari dengan saranan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan SPRM yang berkehendakkan mana-mana pegawai yang berada di kawasan yang menjadi tumpuan/perhatian (hotspot) dipastikan tidak bertugas melebih tiga (3) tahun di tempat yang sama tersebut. Segala aduan yang diterima akan disiasat dan seterusnya jika didapati bersalah, maka pesalah akan dibawa ke muka pengadilan mengikut peruntukan perundangan Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1984 Negeri Johor atau mana-mana perundangan dan perintah pekeliling yang masih berkuat kuasa.

Portfolio Keselamatan. Bercakap mengenai hal keselamatan ini, saya hendak mengucapkan terima kasihlah kepada Yang Berhormat Benut yang juga Ketua Pembangkang. Benut juga menampakkan kerisauan dengan tiadanya portfolio keselamatan di dalam kepimpinan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pakatan Harapan. Saya nak tanya, kawasan Benut ni tak selamat sangat ke? Kalau tak selamat mungkin YB Benut ni tak jaga, dengan Ahli Parlimen dia tu, yang apa ni, gst, kalau implement gst, barang tu. Saya nak tanya, adakah Benut tidak perasan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Barisan Nasional juga tiada portfolio keselamatan? Ahli Dewan yang mulia ini usah risau dengan tiada portfolio keselamatan ini.

Untuk makluman semua, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Negeri sebanyak 3 kali setahun. Malah, saya bercadang untuk menambah bilangan mesyuarat kepada 5 kali setahun. Saya juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri. Di dalam mesyuarat berkenaan, semua agensi keselamatan akan melaporkan status terkini terhadap keselamatan dan kemungkinan ancaman yang akan berlaku dari masa ke semasa.

Selain daripada itu, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri. Di dalam mesyuarat berkenaan, setiap ketua jabatan melaporkan isu–isu jabatan termasuklah agensi keselamatan yang ada di negeri Johor. Mohon Benut berfikir sejenak dahulu sebelum mengajukan soalan lain kali.

Isu bangunan UMNO Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin membangkitkan kembali isu bangunan UMNO di Jalan Segget, Mukim Bandar Johor Bahru. Ahli-Ahli Yang Berhormat tahu siapa pemilik tanah, bangunan berkenaan? Pemilik bangunan berkenaan pertamanya adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Yang ada sekarang wallahualam lah. Nyawa dia pun tak tahu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Baru. BARU! Tapi dia silap mata, perkataan baru yang ada, baru tu dihilangkan. Jadi tuan punya milik tanah adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu lama. Dah haram dah. Dah haram dah. You ambil orang yang dah mati punya harta, boleh ke mengaku harta sendiri? Ada wasiat tak? (Dewan ketawa dan bertepuk). Wasiat? Semua saya tahu harta-harta telah dibekukan oleh UMNO lama dulu. Kecuali yang jadi Wakil Rakyat ni sebahagian yang baru tak tahu sejarahnya. Tahun 1989, 1988 UMNO haram. Dah dibeku dah. Tapi mengaku dia punya. Ada ini macam punya perkara berlaku?

Pemilik bangunan berkenaan Dato’ Haji Salleh bin Tahir, Allahyarham Haji Rahman Bin Mahmod dan Allahyarham Tan Sri Dato’ Osman Bin Saat, bekas Menteri Besar. Penama– penama di atas juga adalah pemegang amanah kepada Perhubungan UMNO Negeri Johor. Saya tidak nafikan, mana-mana tanah boleh dipegang secara pemegang amanah kepada pemegang amanah yang dilantik mengikut klausa peruntukan dalam suatu undang-undang pertubuhan atau persatuan yang berkenaan dan didaftarkan sebagaimana yang dinyatakan bawah Seksyen 344, KTN 1965. Yang menjadi kemusykilan, semua pemegang amanah telah kembali ke Rahmatullah. Dalam keadaan sekiranya nama-nama pemegang amanah tersebut telah meninggal dunia, pihak persatuan perlu putuskan melalui mesyuarat. Itu pun kalau boleh, berlandaskan undang-undang persatuan untuk menukar nama pemegang amanah tersebut kepada pemegang amanah yang baru untuk didaftarkan. Jadi, semua orang ni semua dah meninggal dah. Dah tak ada dah. UMNO lama dah haram dah. Mengaku pulak dia punya. Nak menguruskan aset yang kecil ni pun dah masalah, bagaimana mahu menguruskan pentadbiran negeri. Itu sebab kalah dalam PRU 14. Jika kita menyorot lagi bangunan UMNO di Johor. Bangunan UMNO bahagian Batu Pahat mempunyai tunggakan cukai tanah sebanyak RM287,000.00. Dah bagi, cukai pun tak bayar. Dia nak ngap. Bangunan UMNO Bahagian Tebrau RM31,000.00.

Bagi dua kes di atas, kerajaan negeri akan menghantar Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan, Borang 8A di bawah Seksyen 130, KTN. Sebenarnya, banyak lagi kes-kes bangunan UMNO yang di kurniakan mempunyai tunggakan cukai tanah. Ada asasnya saya membangkitkan isu tapak bangunan politik. Niat kita bukan nak burukkan atau mencari salah pihak pembangkang. Sebagai pemimpin kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. Jangan hanya pandai berpolitik dan menghentam kerajaan hari ini.

Sedangkan sewaktu menjadi kerajaan dahulu, tanggungjawab asas sebagai warganegara iaitu untuk membayar cukai pun pihak pembangkang gagal tunaikan. Bagaimana rakyat ingin memberikan kepercayaan lagi kepada pihak UMNO untuk mentadbir negeri ini?.

Menyimpul bicara, saya memohon maaf atas sebarang kesilapan. Mana-mana soalan ataupun cadangan Yang Berhormat sekalian tidak sempat saya sebut atau jawab, jangan rasa terkilan, kerana Kerajaan Negeri pasti akan menelitinya kembali. Kita ada sekurang-kurangnya empat tahun lagi. Isu-isu yang dibangkitkan dan di bahas di Dewan yang mulia ini bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Sebaliknya, perbezaan pendapat ini akhirnya nanti akan membawa kepada manfaat kepada rakyat negeri ini.

Saya akhiri penggulungan saya dengan dua rangkap pantun untuk kita renungi bersama sebagai bangsa Johor.

Kata Tua kata bermanfaat, banyak manfaat dapat di rasa, hina Bangsa tiada Muafakat, Tiada muafakat umat binasa. Kata tua kata bertuah, tuah melekat seisi alam, hina bangsa kerana lemah, lemah akibat tidak sefaham. Wabillahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih dan selamat tengah hari.

Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat. Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor suatu ucapan menjunjung kasih sebagaimana berikut: “Ampun Tuanku, adalah patik, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini, mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Keempat Belas.”

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon membawa rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 103, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor dengan keanggotaannya sebagaimana berikut:-

Speaker Dewan Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Suhaizan bin Kaiat sebagai Pengerusi, Yang Berhormat Tuan Ee Chin Li, Yang Berhormat Tuan Cheo Yee How, Yang Berhormat Tuan Md. Ysahrudin bin Kusni, Yang Berhormat Tuan Dr. Sulaiman bin Mohd Nor, Yang Berhormat Tuan Tosrin bin Jarvanthi, Yang Berhormat Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan, Yang Berhormat Tuan Haji Ayub bin Jamil, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

Jawatankuasa ini adalah berkewajipan memeriksa dan mengesyorkan pindaan-pindaan kepada Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor kepada Dewan Negeri. Dan cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang Ahli. Yang Berhormat Speaker, saya mohon mencadangkan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri Johor

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon membawa rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 103, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri dengan keanggotaannya sebagaimana berikut:-

Speaker Dewan Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Suhaizan bin Kaiat sebagai Pengerusi, Yang Berhormat Puan Chew Peck Choo, Yang Berhormat Tuan Ng Yak Howe, Yang Berhormat Tuan Mohd Solihan bin Badri, Yang Berhormat Tuan Muhammad Taqiuddin bin Cheman, Yang Berhormat Tuan Gopalakrishnan a/l Subramaniam, Yang Berhormat Tuan Haji Abd. Taib bin Abu Bakar, Yang Berhormat Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Johor.

Jawatankuasa ini adalah berperanan menimbangkan apa-apa perkara yang menyentuh kuasa-kuasa, hak-hak dan kebebasan Dewan Negeri yang diserah oleh Dewan Negeri kepadanya. Dan setelah itu, mengeluarkan penyata mengenainya kepada Dewan Negeri. Cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan juga 3 orang Ahli.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Kira-Kira Raya

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon membawa rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 110(2), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Raya dengan dianggotai oleh seorang Pengerusi dan tidak lebih daripada enam orang ahli sebagaimana berikut:-

Yang Berhormat Tuan Tan Chen Choon sebagai Pengerusi, Yang Berhormat Tuan Mohd Izhar bin Ahmad, Yang Berhormat Tuan Dr. Chong Fat Full, Yang Berhormat Tuan Muhammad Said bin Jonit, Yang Berhormat Tuan Haji Rasman bin Haji Ithnain, Yang Berhormat Dato’ Zulkurnain bin Haji Kamisan, Yang Berhormat Dato’ Ir. Syed Sis bin Syed Abdul Rahman.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab memeriksa kira-kira yang menunjukkan peruntukan wang yang dikurniakan oleh Dewan Negeri bagi membayar perbelanjaan awam. Memeriksa kira-kira yang dibentangkan dalam Dewan Negeri mengikut bagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa ini. Memeriksa Penyata Ketua Audit Negara yang dibentangkan dalam Dewan Negeri mengikut kehendak Jumlahkata (2) bagi Perkara 107, Perlembagaan Persekutuan. Meneliti apa jua kira-kira yang mungkin dirujukkan oleh Dewan Negeri

kepadanya. Jawatankuasa ini juga dari semasa ke semasa akan mengeluarkan penyata atau laporan hal pemeriksaan yang dilakukan bagi dibentangkan dalam Dewan Negeri. Cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang Ahli.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2018.Bill

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2018 dibaca kali yang pertama.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang Pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga. Dan, saya membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain juga dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tambahan peruntukan ini merupakan tambahan yang pertama bagi Perbelanjaan Bekalan Tahun 2018. Tambahan Peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM14,243,000.00 sebagaimana yang dimaksudkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan di bawah empat (4) Jawatankuasa seperti berikut:

1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan

Ekonomi Negeri Johor - RM8,990,000.00.

2. Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian - RM450,000.00.

3. Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor RM3,263,000.00.

4. Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor RM1,540,000.00.

Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2018 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Speaker

Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

JADUAL

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM8,990,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan hendaklah jadi sebahagian daripada jadual Rang Undang-Undang ini.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, di Bawah Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Pengurusan diperuntukkan sebanyak RM325,000.00. Sebanyak RM151,000.00 diperlukan bagi menampung bayaran ganjaran kepada kakitangan kontrak jabatan manakala selebihnya sebanyak RM174,000.00 diperlukan bagi menampung bayaran gantian cuti rehat kepada kakitangan tetap dan kontrak jabatan.

Di Bawah Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pelbagai Perkhidmatan diperuntukkan sebanyak RM4,860,000.00 bagi menampung perbelanjaan perkhidmatan ikhtisas dan perkhidmatan lain yang dibeli dan hospitaliti jabatan.

Di Bawah Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Dewan Negeri Johor diperuntukkan sebanyak RM489,000.00 bagi menampung perbelanjaan faedah-faedah kewangan yang lain kepada Speaker dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru dilantik.

Di Bawah Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pemberian Dalam Negeri diperuntukkan sebanyak RM3,316,000.00 bagi menampung perbelanjaan mengurus Perbadanan Taman Negara Johor akibat pemberhentian penerimaan hasil di Taman Laut Iskandar dan juga menampung perbelanjaan emolumen Perbadanan Johor Bioteknologi Dan Biodiversiti Negeri Johor.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM450,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Tuan Dr. Sahruddin bin JamalBERSATU · PNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian · Bukit Kepong

Di Bawah Maksud Bekalan B.10 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor diperuntukkan sebanyak RM450,000.00 bagi menampung perbelanjaan harta modal-harta modal jabatan kerana perpindahan pejabat Jabatan Veterinar Negeri Johor dari Kota Iskandar ke Kompleks

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor di Jalan Padi Bahagia, Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM3,263,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.21, Jabatan Agama Islam hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Di Bawah Maksud Bekalan B.21, Jabatan Agama Islam Johor diperuntukkan sebanyak RM3,263,000.00 di bawah Bahagian Pendidikan Islam. Sebanyak RM1,235,000.00 diperlukan bagi perbelanjaan perkhidmatan ikhtisas dan perkhidmatan lain yang dibeli dan hospitaliti jabatan manakala selebihnya sebanyak RM2,028,000.00 diperlukan bagi menampung bayaran Bantuan Khas Kewangan dan bayaran Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dipanjangkan kepada Guru-guru KAFA.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM1,540,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Cik Liow Cai TungDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan · Johor Jaya

Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di Bawah Maksud Bekalan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor diperuntukkan sebanyak RM1,540,000.00 bagi menampung perbelanjaan pemberian dalam negeri jabatan kerana peningkatan penerima Bantuan Am, bayaran Bantuan Khas Kewangan dan bayaran Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dipanjangkan kepada Penyelia dan Petugas PDK seluruh negeri Johor .

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 2

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Fasal Yang Pertama

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal Yang Pertama jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Fasal Yang Pertama jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Pengerusi

Dewan Negeri Bersidang Semula.

Dato’ Haji Osman bin Haji SapianBERSATU · PHMenteri Besar · Kempas

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan, maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2018 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju.

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini adalah diperbuat Undang-Undang oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut:- Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2018.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Alhamdulillah kita telah selesai rundingan pada hari ini. Insya-Allah kita akan berjumpa di lain masa. Sebelum saya menangguhkan Persidangan ini, dijemput semua Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan dan semua yang hadir untuk jamuan tengah hari di Dewan Bankuet sebentar lagi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf

Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad

Koordinator Puan Asiah binti Moklis

Ketua Unit Dewan Puan Norliza binti Md. Aris

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Zahiti binti Mohd. Hamdi Puan Suriati binti Abdul Hajar Puan Norhafizah binti Osman Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Norazilawati binti Masri Cik Nur Adeliah binti Abidi Puan Raihanah binti Ismail

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Rakaman Encik Abdul Rahman bin Elias Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md. Sidi

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh

Juruteknik Encik Mohd Faizal bin Jaffar

Unit Dewan Negeri Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor

Speaker

~Pembukaan Rasmi DNJ 2018~