Johor · 5 December 2018

1st session, 3rd meeting · 166 turns · 25,038 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirahmannirahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir untuk Ahli-Ahli Dewan Negeri berbahas atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018. Saya berharap semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat menggunakan masa dengan sewajarnya, agar semua Ahli Yang Berhormat dapat berucap dan esok kita akan mula mendengar jawapan ataupun penggulungan daripada pihak kerajaan atas apa yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Berhormat sekalian. Persidangan diteruskan.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Gambir, jemput.

Yang Dipertua, soalan saya yang pertama.

Mohon nyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri Johor.

Speaker

Yang Berhormat Buluh Kasap jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2.

Minta kerajaan menyatakan komitmen kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik rakyat Johor dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat dan negeri.

Speaker

Jemput YB EXCO

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Bismillahirahmannirahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat-Berhormat Ahli Dewan sekalian. Yang Berhormat tuan speaker, saya mohon menjawab kedua-dua soalan bersekali.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Gambir dan Buluh Kasap di atas soalan dikemukakan. Untuk maklumat Dewan yang mulia, kerajaan Pakatan Harapan negeri Johor sentiasa memberikan fokus utama kepada aspek kesejahteraan rakyat terutama dalam menyediakan Rumah Mampu Biaya yang mencukupi khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah B40 dan berpendapatan sederhana N40. Di atas keprihatinan itu, maka kerajaan komited untuk mencapai sasaran pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Biaya dalam tempoh 5 tahun atau menjelang tahun 2023. Menurut rekod website e-Rumah Johor, sehingga ke hari ini kita mempunyai seramai 87,716 orang senarai menunggu untuk membeli Rumah Mampu Biaya di negeri Johor. Bagi meningkatkan pemilikan rumah oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, di negeri Johor terdapat 4 langkah yang penting telah diambil oleh kerajaan negeri.

1. Memastikan penawaran Rumah Mampu Biaya yang mencukupi. 2. Memastikan sistem pengagihan yang telus. 3. Memastikan kemudahan pembiayaan Rumah Mampu Biaya. 4. Mengurangkan kos pembinaan Rumah Mampu Biaya.

Langkah pertama memastikan penawaran Rumah Mampu Biaya yang mencukupi. Terdapat 4 strategi bagi menyediakan penawaran Rumah Mampu Biaya mencukupi iaitu :-

1. Pembangunan Rumah Mampu Biaya oleh pemaju perumahan swasta.

Dasar Perumahan Rakyat Johor dalam menetapkan bagi kawasan perumahan yang melebihi daripada 5 ekar, maka 40% daripada unit-unit yang perlu dibina adalah terdiri daripada Rumah Mampu Biaya. Perkara ini akan diperkukuhkan lagi melalui kajian semula dasar Perumahan Rakyat Johor yang sedang dijalankan dan akan dikenali sebagai Dasar Perumahan Rakyat Johor 2.0 bagi memastikan pihak pemaju perumahan memberikan komitmen dalam membina Rumah Mampu Biaya yang telah ditetapkan. Sama ada kebenaran merancang di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan ataupun Serahbalik Kurnia Semula (SBKS) di bawah PTG. Untuk makluman Dewan yang mulia, sehingga kini terdapat sebanyak 134,195 unit Rumah Mampu Biaya yang sepatutnya dibina oleh pihak pemaju. Tidak dibina di atas pelbagai alasan. Itu sebabnya kajian semula kepada Dasar Perumahan Rakyat Johor ini perlu dibuat bagi memastikan bahawa komitmen pihak pemaju dalam membina Rumah Mampu Biaya perlu dilaksanakan. Insya-Allah Dasar Perumahan Rakyat Johor 2.0 ini akan berkuat kuasa pada awal tahun hadapan.

2. Pengambilan balik tanah. Kerajaan negeri telah memperuntukkan 87 juta bagi proses pengambilan balik tanah-tanah yang bersesuaian untuk melaksanakan pembangunan Rumah Mampu Biaya melalui prosedur Akta Pengambilan Balik Tanah 1960. Melalui pengambilan balik tanah ini kerajaan akan membina Rumah Mampu Biaya di atas tanah-tanah tersebut oleh pihak syarikat berkaitan kerajaan GLC negeri Johor bagi pembangunan Rumah Mampu Biaya.

3. Usaha antara kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan. Belanjawan negara 2019 telah memperuntukkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi pembinaan Rumah Mampu Biaya di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), PR1MA dan juga Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB).

4. Projek Penswastaan. Antara strategi kerajaan dalam menambah lagi bilangan Rumah Mampu Biaya adalah melalui kaedah projek penswastaan di mana kerajaan negeri akan bekerjasama dengan GLC negeri Johor serta pemaju-pemaju perumahan swasta bagi membina Rumah Mampu Biaya di atas tanah-tanah khususnya milik kerajaan negeri.

Langkah yang kedua bagi memastikan sistem pengagihan yang telus. Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan sistem pengagihan Rumah Mampu Biaya yang telus:

1. Menghapus kuota KMK Kuota Menegak Kerajaan di mana lebih 20% Rumah Mampu Biaya dahulunya Rumah Mampu Milik diagihkan oleh komponen parti-parti Barisan Nasional terutamanya UMNO. Ini bukannya cut and paste ye, ini kita cut sahaja, Yang Berhormat Speaker.

2. Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pada 1 Ogos, satu sistem pengagihan yang lebih telus yang dikenali sebagai Sistem Perumahan 2, Mampu Milik Johor ringkasnya SP2MJ di mana sistem agihan Perumahan Rakyat Johor secara terbuka, sistem ini tidak lagi berdasarkan permohonan mengikut lokasi tetapi ianya berdasarkan kepada projek. Sistem ini akan melibatkan pengundian secara terbuka. Insya-Allah. pengundian yang pertama bagi Taman Daiman Jaya akan dilaksanakan pada 8 Disember yang akan datang.

Langkah ketiga bagi memastikan kemudahan pembiayaan Rumah Mampu Biaya. Ramai pembeli yang mendapat tawaran pembelian Rumah Mampu Biaya tidak berjaya mendapatkan pinjaman perumahan daripada pihak bank. Antara langkah diambil oleh kerajaan bagi membantu pembeli Rumah Mampu Biaya:

1. Mengujudkan Skim Pembiayaan RMB atau Rumah Mampu Biaya bersama Ambank Islamic Berhad.

2. Skim sewa beli di bawah kelolaan Generasi Ta’zim Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat KPRJ.

3. Kelonggaran Sijil Layak Membeli Rumah melalui kaedah pinjaman bersama atau menggunakan penjamin.

4. Cadangan tabungan melalui sewaan Projek Perumahan Rakyat atau ringkasnya PPR.

Langkah yang keempat mengurangkan Kos pembinaan rumah Mampu Milik. Kerajaan akan mewajibkan penggunaan Industrialised Building System, dengan izin atau ringkasnya IBS terhadap projek swasta yang bernilai melebihi daripada RM50 juta dan ke atas termasuk pembinaan Rumah Mampu Biaya. Kaedah IBS ini akan dapat menjimatkan masa dan kos pembinaan. Sekian Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Benut jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tahniah kepada EXCO di atas jawapan yang baik dan khususnya dilekat tapi tak nak paste kerana cut itu selepas tu dihuraikan apa yang nak dibuat daripada perkara yang potong. Satu pujian yang patutnya, sewajarnya kepada pihak kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tentunya tidak mahu bergantung kepada keupayaan pemaju swasta dalam menyediakan Rumah Mampu Biaya dan sebagainya. Jadi, apa langkah kerajaan dalam nak meningkatkan pemilikan? Bukan sekadar memenuhi jumlah sahaja tetapi dari segi pemilikan rumah di kawasan bandar. Berapakah unit yang kerajaan jangkakan dalam bajet tahun ini untuk pemilikan unit-unit rumah di kawasan bandar? Dan di manakah kalau Yang Berhormat atau kerajaan tahu atau dah ada dalam perancangan, di manakan lokasinya untuk kita merasakan bahawa itulah penyediaan Rumah-Rumah Mampu Biaya ni yang berada di kawasan-kawasan bandar. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada Yang Berhormat Benut di atas soalan tambahan. Sebagaimana saya sebut tadi bahawa mengikut waiting list ataupun senarai menunggu dalam website e-Rumah Johor terdapat 87,761 orang di mana kalau kita lihat penghuraian kepada pen detail an senarai menunggu ini, 70% senarai menunggu ini adalah datangnya daripada daerah Johor Bahru dan juga daerah Kulai. Iaitu 2 daerah termasuk masuk dalam kawasan Iskandar Malaysia dan sudah barang tentu dalam pembinaan Rumah Mampu Biaya ini permintaan itu sangat diberikan fokus dalam pembinaan bagi kita memberikan penawaran supaya tidak berlaku mismatch dengan izin, supaya permintaan yang wujud dalam dua daerah ini diberi keutamaan. Maknanya dia, secara umumnya kita boleh guna secara automatic iaitu 70% daripada 87,761 ini akan dibina dalam daerah Johor Bahru dan juga Kulai. Bahkan dalam kajian semula Dasar Perumahan Rakyat Johor ini kita tidak lagi memberikan kepada dasar kita, dasar kepada 2 iaitu dahulunya perumahan yang berada dalam kawasan Iskandar Malaysia dan juga di luar Iskandar Malaysia tetapi kita akan berdasarkan kepada zon dan insya-Allah kita akan kemukakan selepas daripada ini iaitu zon A, B dan C yang asas kepada pembentukan zon A, B dan C adalah berdasarkan kepada :

1. Pendapatan rumah ataupun house hold income kepada setiap daerah. 2. Berdasar kepada urbanisasi proses perbandaran, dengan izin. 3. Berdasar kepada senarai menunggu, waiting list yang kita ada dalam website e-Rumah Johor.

Sekian, Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Buluh Kasap.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada EXCO yang memberikan penjelasan, detail. Cuma saya ingin bertanya, adakah pembinaan Rumah Mampu Biaya ini diserahkan kepada pihak swasta untuk memilih lokasi, tanah dan sebagainya atau melihat kepada keperluan kawasan atau daerah berkenaan? Kerana saya ambil contoh dalam pembentangan bajet tempoh hari, saya lihat Segamat cuma wilayah utara Johor cuma ada 1,700 tak silap saya, jadi, sedangkan Segamat merupakan cuma kawasan luar bandar yang saya fikir amat memerlukan rumah ataupun binaan rumah budaya ini. Jadi, soalan saya tadi adakah bergantung kepada pihak swasta atau atas keperluan masyarakat setempat. Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih kepada Yang Berhormat Buluh Kasap. Sebagaimana saya sebut tadi, salah satu strategi bagaimana

penawaran Rumah Mampu Biaya diperolehi adalah daripada segi pembangunan yang dijalankan oleh pemaju perumahan melalui kawalan dasar Perumahan Rakyat Johor di mana mereka perlu membina 40% daripada unit yang dibina adalah merupakan Rumah Mampu Biaya. Bagi jenis yang ini, pemaju perumahan maka pemilihan lokasi adalah tertakluk kepada kebijaksanaan pemaju perumahan tersebut. Bahkan biasanya pemaju perumahan akan menjalankan kajian dahulu sama ada kajian tentang lokasi termasuk juga liabiliti kebolehmajuan sesuatu projek tersebut. Manakala bagi sumber yang saya sebut tadi yang keempat iaitu melalui projek penswastaan yang kebiasaannya menggunakan tanah kerajaan tetapi ia tertakluk kepada lokasi yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan semasa membuat proses pengambilan alih tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Dan, saya rasa YB Buluh Kasap jangan bimbang kerana kita sangat fokus dan juga berdasarkan kepada statistik tentang demand dan supply, dengan izin, permintaan dan penawaran. Kita berdasarkan kepada permintaan di dalam pendaftaran website e-Rumah Johor sebagai salah satu daripada sandaran bukan itu sahaja tetapi salah satu yang akan menjadi sandaran ataupun pertimbangan utama khususnya di dalam kita melaksanakan projek penswastaan. Sekian, Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Tenang, jemput.

Tuan Mohd. Solihan bin BadriBERSATU · PHTenang

Tuan Speaker, soalan tambahan saya ialah Yang Berhormat EXCO telah memaklumkan kita sebanyak 134,195 unit yang sepatutnya dibina oleh pemaju tetapi tak dapat dilaksanakan. Apakah tindakan yang mungkin dirancang atau boleh diambil ke atas pemaju-pemaju ini dan apakah alasan yang biasanya diberi oleh pemaju hingga tak dapat melaksanakan projek ini yang kita tahu adalah peninggalan daripada kerajaan yang lepas?

Speaker

Jemput.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada YB Tenang. Kalau kita nak bicara tentang alasan ni kena ceramah sejam ini Yang Berhormat Speaker. Tetapi secara ringkasnya kebanyakan...

Speaker

Saya ok saja. Takut sebelah sana tak boleh tahan.

Tuan Sr. Dzulkefly bin AhmadAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar · Kota Iskandar

Sebab dia banyak-banyak sebab, alasan dia. Di antara yang saya umum secara umum yang saya boleh beritahu dalam Dewan yang mulia ini, adalah pihak pemaju. Saya tak kata pihak pemaju ni tak ada intention niat nak bina. Tetapi dia cuba melewatkan pembinaan, itu sebabnya banyak kes yang berlaku yang saya sebut tadi 134,195 ini, majoritinya adalah disebabkan proses pindaan kepada kebenaran merancang. Peringkat awal mereka telah ada kebenaran merancang secara blanket dengan izin, keseluruhan projek. Kemudian bila telah lulus di peringkat SBKS di PTG kemudian mereka mula membuat pindaan kepada kebenaran merancang. Kadang-kadang mereka akan kepada fasa by fasa yang akhirnya pembinaan rumah mampu biaya itu dibuat fasa yang terakhir. Dan, setiap fasa bagi sebagaimana kita tahu melibatkan proses perancang dan pembinaan paling kurang melibatkan dua tahun. Maknanya kalau 5 fasa, 10 tahun berikutnya baru kita lihat rumah mampu biaya dibina. Yang tragis ataupun yang malangnya, ada juga pihak pemaju yang menjual lot bagi rumah mampu biaya ini dan akhirnya pihak pembeli yang baru mengemukakan pindaan perancangan yang akhirnya tidak ada unit rumah mampu biaya yang dibina. Dan, insya-Allah pihak kerajaan negeri melalui mesyuarat MMK, EXCO Kerajaan Negeri kita akan mengambil fokus dan mengambil pertimbangan yang sewajarnya. Mana-mana tanah yang asalnya adalah peruntukan untuk rumah mampu biaya kita seboleh-bolehnya akan mempertahankan jenis pembangunan yang dibenarkan di atas tanah tersebut adalah rumah mampu biaya juga.

Yang kedua adalah tentang penyerahan tanah kepada kerajaan negeri, kelonggaran yang diberi kepada dasar perumahan yang lama dan insya-Allah kita akan strengthen perkukuhkan dalam kajian terbaru supaya tidak berlaku penyerahan tanah untuk pembinaan rumah mampu biaya dan akhirnya membebankan kerajaan negeri, terutama bila mana kita out source ataupun berikan kepada pihak ketiga untuk melaksanakan pembangunan tersebut dan berakhir dengan projek itu terbengkalai. Jadi, ini di antara fokus yang akan kita pastikan dalam kajian semula dasar perumahan rakyat Johor ini supaya jumlah angka 134,195 unit ini tidak akan bertambah di masa-masa yang akan datang. Sekian Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Sungai Balang.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Tuan Speaker, Soalan Nombor 3.

Adakah kerajaan akan terus melaksanakan Program Keluarga Sakinah atau seumpamanya?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Tuan Speaker. Soalan berkaitan adakah kerajaan akan terus melaksanakan Program Keluarga Sakinah atau seumpamanya? Terima kasih kepada Sungai Balang yang mempersoalkan ataupun bertanya berhubung dengan program yang telah dilaksanakan sebelum daripada ini. Jadi, ini satu perkara yang baik dipersoalkan untuk di dapat jawapan yang lebih telus daripada pihak kerajaan. Di mana kita sedia maklum, bahawa Modul Keluarga Sakinah merupakan modul keibubapaan yang berteraskan panduan daripada Al-Quran dan Hadis yang bertujuan untuk memberi panduan dan maklumat lengkap kepada semua lapisan masyarakat Islam dalam membentuk sebuah keluarga yang sebenar berdasarkan kepada ajaran Islam. Modul ini telah dibangunkan lebih daripada 15 tahun dengan kerjasama daripada Jabatan Mufti Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Johor dan juga Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Di mana pelaksanaan modul Keluarga Sakinah adalah di bawah tanggungjawab Yayasan Pembangunan Keluarga yang telah melaksanakan dalam pelbagai kaedah penyampaian selain menyampaikan dalam medium ceramah, modul ini juga disampaikan dalam bentuk program ataupun aktiviti.

Mengikut kumpulan sasar, seperti Program Remaja Sakinah, iaitu khas untuk pelajar sekolah dan belia, Program Permata Sakinah, ibu-ibu hamil, Nostalgia Perkahwinan yakni pasangan berkahwin lebih 10 tahun, Selangkah Seiring Jalan, pasangan yang baru berumah tangga 5 tahun. Selain daripada itu, pelaksanaan-pelaksanaan program seperti bercukur, akikah berkelompok dan seumpamanya dilaksanakan untuk memberikan pengajaran ataupun pendedahan kepada keluarga baru dan kepada masyarakat tentang cara-cara peringkat awal pendidikan kepada anak-anak. Secara keseluruhannya Program Modul Keluarga Sakinah ini adalah satu program yang sangat baik terutamanya dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga, menangani gejala sosial yang di bimbangi saban tahun semakin meningkat. Dan, kerajaan Johor bukan sahaja akan meneruskan program ini, bahkan, akan memperkasakan modul ini. Dengan membuat penambahbaik dari segi pengisian terutamanya mengambil kira isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat Islam seperti perceraian, keganasan terhadap wanita dan kadang-kadang mungkin kita tak pernah dengar keganasan terhadap suami pun ada. Suami baca whatsapp, tengok-tengok whatsapp isteri itu kepada orang lain, bercinta dengan orang lain, ada. Suaminya sedih, itu ada.

Antara cadangan penambahbaikan apabila saya diberi tanggung jawab bersama dalam urusan Modul Sakinah ini, program membantu ibu-ibu tunggal, program pertama saya telah laksanakan Persatuan Ibu Tunggal Zon Parit Yaani, kita buat satu program dengan membelikan mesin buat mee. Jadi, Persatuan Ibu-Ibu Tunggal ini buat mee dah, mee kuning tanpa bahan pengawet dan telah jauh di edar ataupun dapat permintaan dekat 150 kilo dipohon dan telah dibawa ke Skudai. Maknanya saya tolong edarkanlah sebab ibu-ibu tunggal ini dalam DUN saya, alhamdulillah. Jadi itu antara contoh, maknanya kita tambah baik dan insya-Allah kita tidak akan berhentikan bahkan kita perkukuhkan dan kita akan perluaskan dalam bentuk-bentuk program ibu tunggal untuk menjana pendapatan keluarga yang dalam keadaan dah kehilangan punca rezeki mereka. Sekian.

Speaker

Di copy paste juga ke Yang Berhormat?

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Ini insya-Allah tambah baiklah. Walau orang nak kata copy paste benda itu memang dah ada, jadi kalau kita benda yang dah baik kita teruskan. Jangan pula bila tambah baik itu kita copy paste pun dianggap tiru dan sebagainya. Tapi kita tambah baik. Yang pentingnya untuk siapa? Untuk rakyat. Itu yang penting, untuk rakyat. Kita sebagai tanggungjawab menambah baik lagi, insya-Allah, terima kasih.

Speaker

Sungai Balang, jemput, soalan tambahan.

Puan Zaiton binti IsmailUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat EXCO, soalan tambahan saya, semua penggerak Sakinah sebelum ini telah pun ditamatkan perkhidmatan mungkin sebelum ini atas ketidaklayakan ataupun atas lantikan politik. Maka Sungai Balang mohon penjelasan apakah ciri-ciri kelayakan kaedah pemilihan penggerak Sakinah ini, dan adakah proses ini sudah dilaksanakan serta di peringkat mana ketika ini? Terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Haji Aminolhuda bin Haji HassanAMANAH · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan · Parit Yaani

Terima kasih kepada soalan tambahan daripada Sungai Balang. Saya ingat tadi soalan dia berapa ramai yang cerai, tapi tanya lain pula, jadi tak apa lah. Oleh kerana lantikan dulu pun lantikan sepertimana yang kita sedia maklum, bila pelantikan-pelantikan seumpama ini, adalah lantikan yang tak perlu saya terangkanlah. Semua orang faham. Tetapi, apa yang kita buat adalah merupakan satu tindakan ataupun satu pemberhentian yang terpaksa dibuat berdasarkan kepada apa yang telah bukti-bukti yang ada, apabila penggerak-penggerak yang diberikan tanggungjawab tetapi telah memberikan satu imej yang tidak baik kepada rakyat tentang isu-isu semasa. Oleh kerana itu, tindakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengambil tindakan kita beri peluang dah, agak lama sebenarnya, lebih daripada 3 bulan, tapi nampak program itu ataupun kesannya kurang baik kepada kerajaan. Walau macam mana pun ciri-ciri pelantikan kita telah, akan buat pelantikan baru berdasarkan kepada ciri-ciri yang sewajarnya. Kita bukan berdasarkan 100% adalah berdasarkan kepada politik, tetapi juga kepada mereka yang berkemampuan.

1. Dari sudut agama sebab penyampaian dan juga ceramah dan sebagainya, bimbingan-bimbingan ini adalah berkaitan dengan agama, bila sebut keluarga Sakinah.

2. Mereka juga adalah merupakan di kalangan masyarakat yang boleh diterima oleh semua pihak. Bukan bermakna satu golongan ataupun satu pihak sahaja. Ini untuk makluman kepada Dewan yang mulia ini.

3. Kita perlukan juga kepada mereka yang kreatif maknanya kita akan buat temu duga, kita akan panggil untuk di temu duga apa idea-idea yang mereka boleh kemukakan untuk membantu khususnya sepertimana yang saya sebut tadi, saya sebut tentang perkara yang berkaitan dengan idea baru untuk menjana pendapatan keluarga yang kehilangan punca pendapatan suaminya meninggal, ataupun sebagainya. Jadi ini perkara yang menjadi titik berat, ataupun ciri-ciri yang akan kita pilih untuk menjadi penggerak dalam DUN-DUN yang akan kita pilih nanti, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, Yang Berhormat Bentayan, jemput.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Tuan Speaker, Soalan nombor 4.

Adakah kerajaan negeri Johor akan membina incinerator di Johor sebagai salah satu penyelesaian kepada isu pelupusan sampah yang semakin serius?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat Bentayan atas soalan yang telah ditujukan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, di bawah Akta 672 ataupun Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Tahun 2007. Kuasa untuk ataupun segala perihal pengurusan sisa pepejal di negeri Johor telah diserahkan kepada kerajaan persekutuan oleh kerajaan dahulu. Bagaimanapun, pihak kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam isu-isu yang berkaitan dengan isu pengurusan sisa pepejal dan pelupusan sampah di negeri Johor. Soalan yang ditimbulkan adakah Johor ini akan membina incinerator? Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada apa-apa sahaja teknologi yang efektif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah pelupusan sisa pepejal di negeri Johor. Antaranya pembinaan incinerator adalah salah satu penyelesaian waste to energy ataupun WTE kepada isu pelupusan sampah yang semakin serius. Loji incinerator adalah salah satu saya nak tekankan bahawa dianya hanya salah satu teknologi rawatan sisa pepejal. Namun, waste to energy bukan sahaja dah bentuk incinerator. Di dalam proses pengurusan sisa pepejal waste to energy adalah merujuk kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang merawat sisa bagi menghasilkan tenaga seperti elektrik, haba dan bahan api kenderaan seperti diesel. WTE ini mempunyai pelbagai teknologi sama ada proses secara kimia ataupun biologi. Melalui proses secara terma teknologi, WTE melibatkan proses termokimia ataupun dengan izin thermo chemical conversion, iaitu combustion, gasification, pyrolysis dan refuse derived fuel (RDF). Melalui proses ini, ianya akan menghasilkan produk-produk seperti gas panas, sink gas, liquid oil, char dan juga RDF palette. Seterusnya produk-produk ini akan

ditukarkan kepada tenaga haba, elektrik dan bahan api. Manakala melalui proses non terma teknologi, WTE melibatkan proses fermentation dan anaerobic digestion. Melalui proses ini, ianya menghasilkan biogas, bio ethanol dan digestate, yang mana dapat ditukarkan menjadi sumber tenaga baru.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ataupun singkatnya KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) telah merancang untuk membina loji rawatan sisa pepejal yang berkonsepkan waste to energy (WTE). Antaranya seperti incinerator dan anaerobic digester (AD) terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah penjanaan sisa yang tinggi seperti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka dan juga Johor bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dilupuskan ke tapak pelupusan.

Namun, Kerajaan Negeri Johor juga akan membuat kajian tersendiri untuk menyelesaikan masalah tapak pelupusan sedia ada yang semakin penuh. Sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai keputusan membuat loji WTE, Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan waste, cadangan baru kepada KPKT dan kerjasama dengan Persekutuan untuk menyelesaikan pengurusan sisa pepejal yang semakin mencabar.

Selain itu, teknologi pengasingan sisa pepejal di hilir seperti MRF iaitu sistem pengasingan sisa pepejal secara automatik atau separa automatik di tapak pelupusan ataupun di loji WTE akan dipertimbangkan untuk memanjangkan hayat tapak pelupusan yang sedia ada supaya dapat meringankan beban tapak pelupusan sampah, pada masa yang sama memberi masa untuk mencari dan mendapatkan teknologi yang terbaik untuk perkara, hal perihal... pengurusan sisa pepejal ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan. Apa yang sedia dimaklumkan, incinerator ini adalah satu teknologi WTE. Jadi nak tahu kan, apakah kesan-kesannya sekiranya pembinaan loji WTE ini? Dan adakah kesan negatif pembinaan incinerator ini terhadap alam sekitar? Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO. Kalau incinerator ini buat dekat Skudai boleh tak?

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Ini berdasarkan kajian kesesuaian. Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan juga Yang Berhormat Bentayan atas soalan yang telah ditimbulkan. Soalan yang ditimbulkan adalah soalan lazim. Di mana berkenaan berkaitan dengan impak terhadap alam sekitar. Sebenarnya apa kajian ataupun selalu kita dapat rungutan daripada masyarakat adalah bahawa incinerator ini akan menghasilkan efluen ataupun emmision yang akan membawa kesan negatif terhadap kesihatan dan juga alam sekitar. Antaranya adalah pembebasan gas dioksin. Kita perlu faham bahawa mengapakah ataupun dari mana puncanya ada penghasilan gas-gas yang merbahaya ini. Ia berlaku apabila suhu dalam incinerator itu tidak berada pada satu kadar yang tetap. Makna apabila suhu dalam incinerator sentiasa berubah, vary dan tidak kekal pada satu tahap yang sepatutnya ia berada, maka kesan dia adalah antaranya pengeluaran gas-gas yang bahaya ini. Bagaimanapun, masalah ini telah diatasi dengan teknologi yang baru dan ianya telah terbukti bahawa perkara ini boleh diselesaikan.

Jawapan saya sedemikian bukan bermaksud bahawa kita bersetuju untuk membina incinerator. Tapi apa yang nak saya tekankan bahawa segala masalah yang ada, ada penyelesaiannya. Ada teknologi untuk menyelesaikan masalah ini.

Jadi, sebenarnya selain daripada isu alam sekitar yang sering ditimbulkan dalam isu pembinaan incinerator ini, sebenarnya adalah lagi satu isu yang mana selalu dipertikaikan iaitu keberkesanan ekonomi membina incinerator, sama ada ianya adalah satu pendekatan yang orang kata cost effective. Sebab ianya akan dipantulkan atau digambarkan semula daripada tipping fee ataupun caj pengurusan yang akan dikenakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan ataupun mana-mana pihak yang ingin menghantar sisa pepejal ini untuk diuruskan di dalam incinerator ini. Ini antara pertikaian yang timbul, di mana sekarang ni tipping fee adalah lebih kurang RM60.00 hingga RM80.00 satu tan. Dan cadangan untuk incinerator selalunya akan lebih daripada RM100.00 hingga RM150.00 satu tan. Maka ini secara tidak langsung telah menambahkan bebanan kepada PBT. Tetapi saya yakin isu ini juga boleh diselesaikan dengan adanya produk-produk yang saya sebut tadi iaitu tenaga dan juga

bahan-bahan api yang boleh diprodukkan semula untuk menanggung atau menampung sebahagian daripada kos pembinaan incinerator ini.

Jadi soalan seterusnya yang biasa orang tidak membincang dan saya ingin membawa perhatian kepada Dewan yang mulia ini adalah sebenarnya isu yang ketiga yang kita perlu pertimbangkan iaitu apakah hala tuju kerajaan dalam bab pengurusan sisa pepejal ini? Sekarang ini kita dalam hala tuju untuk menggalakkan masyarakat kita supaya mengurangkan sisa atau mengurangkan sampah, tapi kita perlu faham bahawa sekiranya kita membina incinerator, ianya perlu ada satu jaminan dari segi kuantiti sampah yang dihantar kepada incinerator iaitu dengan izin, guarantee of volume. Di mana kita perlu memberi jaminan misal kata kalau satu incinerator itu direka bentuk untuk 2,000 tan sehari, maksudnya kita perlu menjana sampah 2,000 tan sehari untuk dihantar ke incinerator. Jadi, perkara ini kita perlu ambil kira, apakah hala tuju kita? Adakah kita nak menggalakkan masyarakat kita mengurangkan sampah ataupun kita nak menggalakkan masyarakat kita daripada menjana sampah? Jadi, perkara-perkara ini akan diambil kira dalam segala bentuk cadangan kepada kerajaan untuk memilih mana satu teknologi atau pendekatan yang terbaik dalam isu pengurusan sisa sampah, sisa pepejal ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya Machap.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih juga penjelasan yang telah diberikan oleh YB EXCO. Cuma Machap ingin bertanyakan adakah kemungkinan pembinaan incinerator ini diwujudkan di Machap sebagai satu penyelesaian kepada permasalahan pencemaran air di Simpang Renggam, ekoran daripada permasalahan di tapak buang sampah di Ladang CEP Renggam? Jadi adakah pembinaan ini wajar, cuma untuk berkonsepkan kepada waste to wealth ataupun waste to energy. Sebab sebagaimana telah disebut tadi, untuk membina incinerator ini, berapakah jumlah kapasiti sampah yang diperlukan oleh setiap incinerator ini bagi membolehkan dia memproses kepada baja, proses kepada minyak dan juga kepada gas? Jadi saya nak tahu berapa jumlah dan juga kemungkinan pembinaan incinerator di Simpang Renggam? Terima kasih.

Speaker

Machap setujulah kalau buat dekat ni eh... incinerator di Machap setujulah eh? Sila YB EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga Yang Berhormat Machap daripada soalan yang ditimbulkan. Saya dah agak dah Machap akan timbulkan isu Ladang CEP ini. Jawapan sebenarnya dah ada tapi tak tahu hilang ke mana dah. Tapi bagaimanapun secara umumnya, kita perlu ambil kira banyak aspek. Sebab sekarang ini di Machap, sehari sampah yang masuk ke tapak pelupusan Ladang CEP adalah lebih kurang 4 hingga 600 tan sehari. Ini sebenarnya tidak begitu economical untuk membina sebuah incinerator di situ. Bagaimanapun dengan teknologi yang semakin canggih pada hari ini, di mana incinerator ini ataupun loji WTE, dia tidak semestinya incinerator, loji WTE ini adalah direka secara modular di mana dia boleh direka dengan keperluan kapasiti pada tapak. Bagaimanapun ianya juga perlu, kita juga perlu ambil kira bahawa saiz tanah yang ada dan diperlukan. Jadi perkara itu masih belum ada keputusan muktamad. Bagaimanapun kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam mengatasi masalah limpahan leachate di tapak pelupusan Ladang CEP. Iaitu kerajaan telah memperuntukkan satu jumlah sebanyak RM3.5 juta untuk menaik taraf loji rawatan leachate di Ladang CEP. Perkara ini telah diluluskan oleh Menteri Kewangan pada September yang lalu dan sekarang ini dalam proses melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf loji rawatan leachate. Kita yakin dengan naik taraf, kerja-kerja naik taraf ini dapat mengatasi masalah limpahan leachate ini di Ladang CEP. Sekian jawapan saya.

Speaker

Ya Kukup sila.

Terima kasih Tuan Speaker. Saya telah dengar pun perbincangan tentang incinerator ini banyak tahun Tuan Speaker. Memang perkara ini memang dibincangkan setiap kali Dewan ini sebelum-sebelum ini pun. Tapi sampai hari ini, saya tak nampak pun satu incinerator yang telah pun di bangun di negeri Johor. Jadi, saya amat mengharapkan semasa saya dulu di KPRJ, saya pernah melawat satu syarikat di France, nama syarikat tersebut adalah Viola. Satu syarikat yang mempunyai lebih kurang 4,000 pekerja, dia mempunyai semua teknologi yang tercanggih di dunia ini. Saya amat mengharapkan supaya kerajaan Negeri Johor sebagaimana EXCO katakan tadi, dia harus melihat daripada segi sudut kos dan pelbagainya lagi. Tetapi pada pandangan saya, incinerator ini sangat diperlukan sekarang ini. Sebab untuk kita buang

sampah pada apa landfill sekarang ini, adalah satu perkara yang menjejaskan banyak daripada keburukan kepada alam sekitar...

Speaker

Soalannya Kukup...

Jadi soalannya sekarang ini, bilakah boleh kita lihat incinerator ini dibangunkan di negeri Johor untuk menggantikan landfill, system landfill yang ada ini. Terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Kukup. Ini sebenarnya satu soalan yang sangat nakal. Dia tanya bilakah seolah-olah kita dah bersetuju, jadi bilakah nak buat? Sebenarnya kita masih belum ada keputusan muktamad tentang apakah jenis teknologi yang boleh digunakan?

Speaker

Bila dimuktamadkan.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Kita akui bahawa sekarang ini masyarakat secara umumnya mempunyai banyak salah tanggapan terhadap konsep incinerator ini. Dan salah tanggapan ini telah kita kata expand, kepada konsep WTE. Apabila kita sebut sahaja WTE orang fikir tentang benda yang negatif. Orang tak fikir ini salah satu pendekatan yang berkesan untuk selesaikan masalah sampah di negeri kita. Jadi sebelum kita nak bagi tahu maklumkan bilakah kita perlu ada persetujuan dulu, sebelum kita ada persetujuan kita perlu convince atau meyakinkan masyarakat kita bahawa ini adalah satu pendekatan yang sangat berkesan. Kita tidak mahu sesuatu cadangan itu dicadangkan, dilaksanakan tetapi pada pertengahan dia mendapat bantahan dari masyarakat dan kita terpaksa memberhentikan projek tersebut. Sekiranya kita berbuat demikian kita akan membuang sangat banyak masa, sebab untuk membina, merancang sesuatu fasiliti itu, kemudahan dia memakan masa yang panjang. Jadi, perkara itu saya harap Kukup faham dan jangan lagi bagi perangkap ini dan kita sama-sama hadapinya. Kita sama-sama mencapai kata sepakat dalam masyarakat secara umumnya, sebelum boleh bagi satu jawapan bahawa bilakah kita akan buat. Sekian terima kasih.

Satu lagi, tambahan sikit lagi. Saya rasa nak mengkaji perkara ini sebab satu dunia dah pakai. even China, even Eropah, semua dah pakai. Saya tengok daripada satu di Eropah, sebagaimana pusat pelupusan waste to energy dia punya kompleks tu lebih baik, lebih canggih daripada shopping complex,dia punya cantiknya tu. Saya rasa kalau ini kita bangunkan tak akan ada, perlu kita nak mengkaji yang begitu lama sekali. Sebab kita bercakap, bercakap, bercakap, we don’t walk our talk. people talking and talking, kita tak dapat keputusannya. Jadi, saya rasa masalah ini perlu kita selesaikan dengan secepat mungkin. Sebab this is time bomb selama mana kita nak buang memikirkan kepada alam sekitar kita.

Speaker

Saya kira tak payah. Ini bukan soalan, ini penyataan sahaja. Tak apa saya terus ke soalan yang seterusnya.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi · Skudai

Soalan ini, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mintak izin untuk ulas sedikit tentang pandangan Yang Berhormat ...

Yang Berhormat Tuan Speaker, tak payahlah, sebab kita, benda ni dah…

Speaker

Sebab satu penyataan satu persetujuan tak ada soalan. Ok soalan tambahan habis dah. Kita pergi soalan seterusnya. Minta Maaf ya tapi bagus, isu ni bagus. Maknanya untuk kepentingan rakyat, Yang Berhormat pun ramai yang nak respons maknanya perlu penyelesaian yang segera untuk menyelesaikan masalah ini. Ok, seterusnya saya jemput Yang Berhormat Bukit Pasir.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.

Adakah kerajaan negeri bercadang melalui agensi tertentu untuk menggalakkan penyertaan bumiputera di bandar-bandar dengan menyediakan ruang niaga atau rumah kedai dalam kadar tertentu sekiranya ada kuota?

Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Bukit Pasir atas soalan yang telah diutarakan. Yang Berhormat Tuan Speaker, antara agensi yang menyediakan ruang niaga atau kita sebut juga sebagai rumah kedai kepada para usahawan Bumiputera antaranya ialah :-

1. Perbadanan Islam Johor ataupun PIJ. Selaras dengan objektif utama PIJ iaitu untuk membangunkan ekonomi umat Islam khususnya di negeri Johor ini. Maka PIJ ada menyediakan rumah-rumah kedai dan juga ruang-ruang pejabat untuk disewakan kepada usahawan-usahawan Muslim. Rumah kedai dan ruang pejabat PIJ ini berada di beberapa lokasi di negeri Johor ini. Antaranya ialah :

a. Bangunan PIJ, Jalan Rebana, Kebun Teh yang lebih kurang ada 74 lot atau 74 unit. Selain itu ruang pejabat di bangunan PIJ Holdings sendiri, Jalan Bukit Timbalan yang berjumlah 5 lot. Keseluruhannya ruang pejabat ini ada 79 lot.

b. Bagi rumah kedai di bawah seliaan PIJ terdapat 4 daerah atau 4 lokasi antaranya ialah di Taman Bandar Baru Ayer Hitam, di Taman Persona, Kluang, Jalan Rebana, Kebun Teh dan Bandar Baru Uda. Keseluruhan jumlah lot ataupun unit rumah kedai PIJ ini berjumlah 30 unit.

c. Selain itu juga terdapat juga disediakan inkubator daripada PIJ di 2 daerah ataupun 2 lokasi iaitu :

i. Bandar Baru Uda sebanyak 21 unit ii. Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, 18 unit membawa keseluruhan 30 unit ruang pejabat ataupun ruang inkubator.

Kadar sewa yang dikenakan oleh PIJ adalah berpatutan dan lebih rendah daripada harga pasaran semasa. Pada masa kini semua rumah kedai dan ruang pejabat PIJ di lokasi yang telah saya nyatakan tadi telah pun mencapai 85% disewakan.

2. Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB). Antara agensi kerajaan negeri yang turut menyediakan ruang-ruang untuk perniagaan ini adalah Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB). Kerajaan negeri Johor melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) telah melantik PUJB ini melalui Unit Infrastruktur dan Hasil, untuk mengurus tadbir lot-lot komersial berjumlah 250 unit milik kerajaan negeri di sekitar negeri Johor. Pecahan-pecahan unit tersebut adalah 3 unit di Taman Johor Jaya, 9 unit di Mersing, 80 unit di kedai pejabat di Kluang, 55 unit di Kluang Junction yang dahulu dikenali sebagai Pekan Rabu Kluang, 2 unit Desa Sejahtera di Kota Tinggi, 36 unit di Desa Rakyat Pasir Gudang, 2 unit di Nusantara Prima, 22 unit di Mutiara Rini dan 41 unit di Eco Cascadia.

Dari keseluruhan jumlah yang ada ini, sebanyak 124 unit telah disewakan kepada peniaga bumiputera iaitu 38 unit Kluang Junction, 1 unit Johor Jaya, 3 unit di Mersing, 43 unit kedai pejabat Kluang, 2 di Desa Sejahtera, Kota Tinggi, 35 unit di Desa Rakyat Pasir Gudang dan 2 unit di Mutiara Rini. Dan untuk keseluruhan hari ini, kadar sewa adalah berpatutan dan mengikut penilaian Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu, yang masih dalam proses kita ada B5 Johor Street Market. Untuk makluman, Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) iaitu anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan ruang-ruang niaga di kawasan bandar dan juga di kawasan luar bandar di negeri Johor yang terdiri dari pusat membeli-belah, pasar raya, pusat perniagaan, pasar segar dan bazar sebagaimana berikut :

• Komtar JBCC • Galleria@Kotaraya • Pasaraya Komuniti @mart Kempas • Pusat Perniagaan Taman Dahlia

• Larkin Sentral

JCorp melalui DASB ini telah mengambil langkah penting dalam menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera dengan menyediakan ruang niaga di lokasi yang strategik di pusat bandar Johor Bahru.

Jadi dengan adanya kompleks-kompleks yang terletak di dalam lokasi yang strategik tersebut, dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk bumiputera berniaga dan lebih berdaya saing.

Pihak DASB mengamalkan konsep terbuka iaitu semua penyewa akan dikenakan kadar sewa yang sama di dalam satu bangunan. Walau bagaimanapun, kadar sewa ruang niaga yang dikenakan ini adalah 15 % lebih rendah berbanding dengan kadar sewa di bangunan lain yang serupa dengannya. Itu dulu Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberikan. Kita tahu bahawa ruang-ruang perniagaan ini memang kita kenal pasti dan kerajaan saya percaya bersungguh dalam memastikan ruang-ruang yang ada itu dipenuhi. Yang Berhormat melihat juga kepada industri kreatif jadi dalam hal ini apa pandangan kerajaan terhadap peniaga-peniaga yang sedia ada kerana kita juga melihat kepada penggalakan penyertaan jadi mungkin Yang Berhormat akan menilai keupayaan, sambutan kepada peniaga-peniaga yang ada. Jadi, apa langkah kerajaan untuk memastikan bahawa program kerajaan yang baharu sebagai satu yang lebih menarik, sebagai satu yang boleh menggalakkan penyertaan bumiputera. Apakah bidang-bidang Yang Berhormat ataupun kerajaan rasa amat sesuai dalam menggalakkan penyertaan bumiputera. Adakah kita akan mempunyai bidang-bidang baru, beri penekanan kepada bidang-bidang baru atau pun sekadar kita nak meneruskan sahaja perniagaan-perniagaan tradisi yang sedia ada, bagaimana perancangan Yang Berhormat.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Benut, untuk makluman Dewan yang mulia ini, portfolio di bawah seliaan EXCO atau pun saya dimasukkan portfolio Ekonomi Kreatif dan saya melihat dan kerajaan negeri melihat bahawa ekonomi kreatif dia bukan akan mematikan peniaga-peniaga ataupun usahawan-usahawan sedia ada tetapi kita lebih melihat elemen kreativiti ini akan memberi suntikan baru kepada peniaga-peniaga dan usaha di negeri Johor ini. Dan dalam kita ataupun portfolio saya menyantuni bajet yang telah, ataupun Belanjawan 2019 negeri Johor untuk usahawan kita meletakkan 3 elemen utama. Pada kali ini untuk memberi nilai tambah kepada perniagaan-perniagaan mereka.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kita menekankan yang pertama sekali teknologi. Dari aspek teknologi, usahawan kita mesti diberi pendedahan kepada teknologi kerana kita meyakini bahawa dengan teknologi dia akan mampu untuk meningkatkan produktiviti. Dengan automasi dia boleh meningkatkan produktiviti usahawan-usahawan kita.

Kedua Pendigitalisasi iaitu mendigitalisekan usahawan-usahawan kita. Menjadikan mereka ini well equip dari segi IT, dengan izin. Dengan kelengkapan ini mereka boleh meluaskan pasaran mereka bukan sahaja di dalam negeri Johor ataupun konteks, local sahaja, tetapi mereka boleh go aboard, dengan izin dengan lebih jauh dari konteks pasaran.

Ketiga ialah di sini letaknya kreativiti, iaitu dengan kreativiti maka usahawan kita ada nilai tambah dalam keusahawanan atau bidang keusahawanan yang mereka niagakan. Contoh yang paling mudah saya boleh bawa di sini kalau dalam konteks selama apa bila satu orang usahawan berniaga kerepek, saya bawa contoh. Dan, secara tradisional ataupun kebiasaan dahulu ialah kalau orang A buat kerepek, usahawan B tengok ok, usahawan B akan buat kerepek lagi, usahawan C akan terus buat kerepek lagi. Tetapi dalam konteks ini kreativiti sangat penting kerana saya rasa bukannya kita ingin meningkat lebih ramai usahawan kerepek tapi dengan kreativiti boleh meningkatkan produk kerepek yang kita ada. Sebagai contoh, kita ambil contoh, kalau di Ayer Hitam, contohnya. Kita ada industri kerepek tetapi kita belum ada galeri kerepek sebagai contoh, di Ayer Hitam. Kita belum ada pesta makan kerepek terbesar di rantau ini contohnya, di Ayer Hitam yang kita buat. Ini lah yang saya

maksudkan dengan contoh ataupun logik yang mudah ini kita melihat kreativiti mampu boost, dengan izin, mampu meningkatkan keupayaan usahawan kita.

Pada semalam kalau saya boleh berkongsi kepada Dewan yang mulia ini, UNESCO telah mengiktiraf Dondang Sayang, Dondang Sayang ini, tarian lagu Dondang Sayang ini, UNESCO telah mengiktiraf Dondang Sayang. Jadi, kita tidak terfikir Dondang Sayang ini adalah satu perniagaan sebenarnya dan satu aspek keusahawanan sebenarnya. Tetapi hari ini ataupun semalam satu berita satu berita telah dikeluarkan di The Star bahawa dondang sayang telah diiktiraf di UNISCO dan saya melihat bahawa hal ini akan menarik minat ramai lagi orang daripada luar, pelancong daripada luar bahkan investor ataupun pelabur-pelabur daripada luar untuk melihat dengan lebih teliti dalam aspek ini. Jadi inilah yang saya katakan bahawa kreativiti ini sebenarnya dia akan menjana lagi ekonomi usahawan-usahawan kita dan saya tegaskan di sini bahawa kreativiti akan meningkatkan lagi daya ataupun keupayaan usahawan kita dan akan memberi nilai tambah kepada usahawan kita dan hal inilah yang akan diberikan fokus oleh kerajaan negeri pada kali ini. Terima kasih.

Speaker

Bukit Permai.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Yang Berhormat Tuan Speaker, semalam saya telah menimbulkan masalah miskin tegar di bandar. Dan sebagai salah satu langkah untuk kita nak memberi ruang lebih banyak penyertaan bumiputera dalam kawasan perbandaran, saya mengesyorkan 3 Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang kita anggap sebagai Golden Triangle Johor sekarang ini, supaya lebih banyak mengadakan atau mendirikan hab-hab perniagaan, lot-lot perniagaan untuk bumiputera. Sekian, terima kasih.

Speaker

Soalannya Yang Berhormat?

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Soalannya, apakah langkah kerajaan untuk memperbanyakkan lagi bumiputera merebut peluang perniagaan di bandar-bandar? Terima kasih.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Sheikh ‘Umar Bagharib bin AliDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif · Paloh

Terima kasih Bukit Permai. Yang Berhormat Tuan Speaker, sepanjang saya menjawab soalan pada awal tadi, saya rasa saya telah menekankan lokasi-lokasi ruang niaga yang diberikan ataupun disediakan oleh contohnya PIJ, PUJB dan sebagainya yang saya tidak dapat mengeluarkan angka dari sudut peratusan tetapi sejumlah besarnya adalah di kawasan bandar-bandar utama ini. Jadi, saya rasa saranan ataupun soalan ataupun cadangan yang saya lihat lebih bersifat cadangan oleh Bukit Permai tadi, saya rasa telah dijawab dalam jawapan saya di awal tadi dan concern dengan izin ataupun keprihatinan beliau terhadap perkara ini ataupun keprihatinan Bukit Permai dalam hal ini saya rasa akan saya ambil tindakan yang sewajarnya. Terima kasih.

Speaker

Soalan yang seterusnya jemput Perling.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.

Apakah inisiatif dan rancangan Kerajaan Negeri Johor dari segi Sumber Manusia untuk menyediakan bakat untuk Revolusi Industri 4.0 tersebut?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih Tuan Speaker. Salam Sejahtera, selamat pagi, Yang Berhormat Perling dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, tuan-tuan, puan-puan. Seperti yang sedia maklum, pada Oktober 2018 yang lalu pihak kerajaan persekutuan telah pun melancarkan polisi kebangsaan bagi menghadapi Lonjakan Revolusi Industri 4.0 iaitu industri 4WRD iaitu ialah satu Nasional Policy On Industry 4.0. Dengan ini ada 5 kawasan fokus iaitu funding, infrastructure, regulation, skill atau talent dan technology, dengan izin.

First, susulan daripada pelancaran polisi kebangsaan itu juga Belanjawan Negara 2019 turut mensasarkan beberapa inisiatif terutamanya di dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kemahiran tenaga kerja berkaitan industri 4.0. di antaranya seperti pengenaan potong cukai sebanyak dua kali kepada syarikat yang membiayai biasiswa latihan dan menyertai Skim Latihan

Dual Nasional, SLDN bagi industri 4.0. Maklum balas terhadap Lonjakan Industri 4.0, satu jawatankuasa kecil telah ditubuhkan di peringkat negeri Johor bagi mengumpul maklumat dan membincangkan inisiatif dalam membangunkan dan memperkembangkan bakat peralihan industri setempat. Bakat tempatan sedia ada belum lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan industri 4.0 yang lebih berunsurkan teknologi pintar, pantas dan maya.

Bidang-bidang seperti megatronik, pencetakan 3D, rekaan digital dan sewaktu dengannya masih lagi berkurangan dan kurang didedah di kalangan penggiat latihan. Manakala keperluan jenis bakat dalam industri 4.0 di Johor ini pula perlu dikenal pasti dan diseragamkan agar selari dengan bakat mahir yang ada. Tidak perlu tidak. Bridging Antara keduanya perlu diimbangi memandangkan penyediaan dan peralihan ke arah industri 4.0 sudah tentunya memerlukan modal yang tinggi dan jangka panjang. Justeru itu, penyelarasan dan perancangan pembangunan bakat dalam industri ini akan direncanakan melalui jawatankuasa bakat industri 4.0 negeri Johor yang dikendalikan oleh Unit Strategik Modal Insan dan terdiri daripada penyedia-penyedia latihan di peringkat persekutuan dan negeri serta wakil industri seperti Federation Of Malaysian Manufacturers (FMM).

Penjenamaan Tabung Latihan Kemahiran Johor (TLKJ) kepada Johor Upskilling dan Reskilling bukanlah sekadar cut and paste atau ditakrifkan secara langsung sebagai mekanisme latihan semata-mata tetapi ianya merupakan resolusi kepada keberkesanan program terdahulu yang telah dilaksanakan. Bidang-bidang latihan kemahiran yang ditumpukan sebelum ini adalah lebih berasaskan kepada elemen-elemen teknikal dan perkhidmatan yang berorientasikan kehendak industri antaranya seperti pendawaian elektrik, pemesinan, penyediaan makanan dan minuman. Yang telah berjaya menempatkan adalah seramai 296 orang peserta iaitu hanya 82% daripada jumlah keseluruhan peserta yang dilatih di hampir 50 majikan setempat di sekitar negeri Johor. Peratusan penempatan ini boleh ditingkatkan sekiranya unsur-unsur nilai tambah turut dimasukkan dalam modul-modul latihan yang dijalankan. Justeru itu, dengan mensasarkan kepada 100% penempatan Johor Upskilling dan Reskilling akan menekankan kepelbagaian kemahiran iaitu multi skilling yang bercirikan ke arah industri 4.0. di samping bidang teknikal sedia ada serta kemahiran lembut iaitu kemahiran insaniah di kalangan mereka yang belum bekerja mahupun sedang bekerja. Modul-modul sampingan seperti pengurusan efektif dan pembinaan karakter akan ditambah bagi meningkatkan lagi tahap kebolehpasaran peserta tersebut. Sekian, terima kasih.

Speaker

Perling, jemput.

Tuan Cheo Yee HowDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat EXCO untuk beri jawapan berikut. Tapi saya rasa yang beri jawapannya dia tumpu pada fokus dan tujuan kepada revolusi industri menyediakan bakat revolusi 4.0 ini. Jadi soalan saya begini, apakah program yang terkini, program-program yang terkini untuk inisiatif yang menyediakan bakat untuk revolusi industri 4.0 ini selepas Pakatan Harapan memegang kerajaan? Terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Dr. Ramakrishnan a/l SuppiahDAP · PHPengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan · Bekok

Terima kasih Yang Berhormat Perling. Untuk maklumat Dewan yang mulia ini perubahan-perubahan yang di bincang kini adalah seperti berikut:-

1. Belajar kemahiran teknologi serta kemahiran insaniah iaitu kemahiran komunikasi, latihan, pertambahan fizikal dan mental, sikap menerima perubahan dan sebagainya. ILP yang ada sekarang akan fokus ke sifat-sifat ini.

2. Semua kursus mesti ada internship untuk menambah kemahiran dan pengalaman. Ini mesti diatur oleh institusi bukan lepas kepada pelatih. Secara ini institusi latihan boleh maju hubungan erat dengan pihak majikan, hantar pelatih tiap-tiap tahun.

3. Majikan unggul dalam bidang tertentu tetapkan sasaran dari segi syllabus, dengan izin, dan tahap pencapaian. Inilah private public partnership. Kerjasama rapat dengan sektor swasta dan syarikat multi nasional sangat digalakkan. Dialog dengan pihak seperti FMM dan sebagainya digalakkan juga. Kita mahu ikut itu modal Germany di mana institusi dan majikan kerjasama dalam pembangunan kurikulum dan mata pelajaran institut latihan perindustrian.

4. Galakan inovasi-inovasi dan perubahan kecil di tiap peringkat. Dan meraikan pencapaian sebagai ini. Satu budaya inovasi di antara pelatih ini pun digalakkan.

5. Galakan dan dorongan kepada start up daripada pelatih, kita galakkan start up.

6. ILP pun digalakkan mula R&D, Research and Development. Bukan hanya latih atau mengajar sahaja.

Inilah 6 langkah yang kita bincangkan mahu implementasi secepat mungkin. Untuk makluman tuan-tuan puan-puan, ramai pakar beritahu bahawa 2/3 pekerjaan yang ada sekarang tidak akan di ada di masa depan, 20 tahun kemudian. Institusi khazanah pun beritahu begitu juga, mereka pun setuju dengan pendapat ini. Kita tidak tahu apa kemahiran yang perlu di masa depan, sebab teknologi ubah berkembang cepat dan jadi out dated dalam masa singkat, dengan izin. Oleh sebab itu, sifat yang kena belajar dan perlu ialah empathy, kesefahaman, kreativiti, critical thinking, pemikiran kreatif, inilah sifat-sifat kita galakan di ILP pada masa ini. Tetapi bukan semua boleh di alternated, ada juga beberapa bidang tidak. Ini bererti bahawa attitude, sikap, flexibility, untuk menerima perubahan dan inovasi sangat penting di kalangan pelatih dan pekerja. Untuk mencapai matlamat ini, kami melalui Unit Strategik Modal Insan sedang berunding dan bincang perubahan pengajaran dan pembelajaran di ILP dan juga kita galakkan dialog-dialog dengan pihak majikan.

Dan, untuk maklumat Tuan Speaker, baru-baru Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun mengumumkan dalam Belanjawan 2019 iaitu High Value Investment, ini sangat akan menggalakkan lonjakan kepada industri 4.0 dan juga beliau mengumumkan memperkenalkan e-Wallet. Inilah langkah-langkah akan menyokong lonjakan kepada industri 4.0. sekian, terima kasih.

Speaker

Soalan seterusnya, jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Tangkak nombor 7.

Apakah sebab kerajaan membenarkan bil perkhidmatan pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) disatukan dengan bil air SAJ?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu terima kasih kepada Yang Berhormat Tangkak kerana membangkitkan soalan ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli atau nama singkatannya KATS melalui surat bertarikh 13 September 2018 kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor telah memaklumkan bahawa pihak kementerian sedang berusaha memperluaskan pengebilan bersepadu, joint billing dengan izin, bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan. Cadangan joint billing adalah melalui satu bil tunggal sahaja yang akan dikeluarkan oleh Ranhill SAJ di Johor, yang mana bil tersebut akan menunjukkan pembahagian antara penggunaan air terawat di bahagian atas bil dan caj pembetungan pada sebahagian bawah dengan penambahbaikan iaitu mencetak logo IWK di bahagian bawah bil tersebut. Bagi mengelakkan salah faham dan tanggapan pengguna bahawa Ranhill SAJ telah mengambil alih perkhidmatan pembetungan di negeri Johor.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Johor telah menolak pelaksanaan joint billing ini buat masa sekarang oleh Ranhill SAJ dan IWK tertakluk kepada penyempurnaan syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti di bawah:

1. Kaedah joint billing yang akan atau bakal dilaksanakan tidak akan melibatkan kenaikan tarif IWK dan juga air terawat kepada pengguna. Caj pembetungan untuk sektor domestik masih kekal iaitu RM8.00 sebulan dan yang membezakannya adalah bil dikeluarkan setiap bulan berbanding bil sedia ada IWK dikeluarkan setiap 3 bulan sekali.

2. Pelaksanaan joint billing dilaksanakan di Johor mestilah serentak dengan beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia supaya Negeri Johor tidak dijadikan sebagai “pilot project” atau “trial and error” untuk mengetahui penerimaan rakyat dan pengguna. Oleh yang demikian, IWK perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meyakinkan operator bekalan air dan kerajaan di negeri-negeri lain bagi menerima cadangan joint billing ini.

3. Inisiatif dan kempen berhubung cadangan joint billing ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan sahaja di peringkat kerajaan negeri, bahkan perlu turut disertai oleh kerajaan persekutuan melalui media cetak, media sosial dan lain-lain lagi.

4. Perincian yang lebih teliti melalui mesyuarat, dialog dan perbincangan dengan semua-semua pihak kepentingan negeri stake holders dengan izin, perlu diadakan agar kebajikan rakyat diutamakan sebelum apa-apa keputusan bakal kami tentukan.

Speaker

Jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO yang telah memberikan jawapan dan saya, Tangkak kira itu adalah satu berita baik buat sementara ini kerana kerajaan negeri telah menolak permintaan atau pelaksanaan tersebut. Tetapi dengan syarat apa yang telah di maklum oleh, oleh YB EXCO sebentar tadi dengan adakah sekiranya IWK memenuhi keempat-empat permintaan yang telah dinyatakan oleh kerajaan negeri Johor dan akhirnya IWK dibenarkan bekerjasama dengan SAJ untuk bil disatukan ini? Pada Tangkak, kebimbangan kami ini adalah seperti berikut :-

Memandangkan IWK mempunyai tunggakan setakat hujung tahun 2016, tunggakan pelanggan IWK adalah sebanyak RM450 juta. Dan, kerajaan persekutuan terpaksa untuk menanggung sekurang-kurangnya RM150 juta setahun bagi menampung kos pengoperasi IWK. Dan, ini mungkin salah satu tujuan ataupun inisiatif yang diambil oleh IWK supaya menggabungkan bil dalam bil air, tetapi Tangkak nak tanya...

Speaker

Soalannya Yang Berhormat. Soalan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ya soalan. Tangkak nak tanya sekiranya bil bersepaduan ini dilaksanakan adakah tunggakan pelanggan IWK akan dimasukkan ke bil pertama iaitu kalau dilaksanakan bermula 1 Januari, bulan Januari 2019, adakah tunggakan pelanggan IWK tak kira RM100.00 atau RM1,000.00 itu akan di masuk ke dalam bil SAJ Ranhill dan juga SAJ. Dan akibatnya kalau betul, bagaimanakah untuk mengelakkan pengguna pemegang akaun SAJ itu mungkin bil bulanan dia cuma dalam sekitar RM20.00, tetapi oleh kerana telah digabung oleh bil IWK, jumlah keseluruhan bil tersebut menjadi mungkin lebih daripada RM100.00 atau sehingga RM1,000.00? Dan, adakah bekalan air pelanggan tersebut akan dipotong sebab beliau tidak mampu membayar bil tersebut. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Terima kasih kepada soalan tambahan daripada Yang Berhormat Tangkak. Untuk makluman Yang Berhormat Tangkak dan juga Dewan yang mulia ini, sukacita saya menyatakan di sini pihak kerajaan telah membuat mesyuarat dengan pihak SAJ dan juga IWK baru-baru ini dan kami telah mendapat maklumat daripada mereka, bahawa sebarang joint billing itu tidak akan dijalankan –

1. Tanpa persetujuan pihak-pihak tertentu termasuk kerajaan negeri Johor. 2. Mekanisme-mekanisme itu tidak akan, tengah diperbaiki dan diperhalusi pada masa kini.

Tapi saya hanya nak menyatakan di sini bahawa Kerajaan Negeri Johor amat prihatin kepada apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tangkak dan kami masih akan sentiasa memastikan bahawa pengguna kita tidak akan dibebankan dengan apa-apa bayaran yang mungkin tidak perlu dipertimbangkan pada masa permulaan skim ini sekiranya pun dia dilaksanakan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Benut.

Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat, kita punca kuasa. Adakah tujuan untuk melihat kepada kaedah di bawah perkhidmatan pembetungan ini, adakah ianya 100% atas tanggungjawab kerajaan persekutuan atau dalam concurrent list, yang mana persekutuan dan negeri juga perlu menimbangkan bersama? Kalau perkara ini hanyalah cadangan daripada satu pihak swasta sahaja, mungkin kerajaan mudah nak pertimbangkan. Tolak atau terima. Tetapi kalau ianya berada dalam concurrent list, tanggungjawab kerajaan pusat dan

kerajaan negeri untuk duduk memikirkan bersama, adakah Yang Berhormat ada maklumat tak? Sama ada benda ini ada dalam punca kuasa itu pertama?

Kedua, setelah kita mengetahui punca kuasa untuk berbangkitnya joint billing ini dengan izin, kesungguhan Yang Berhormat, kesungguhan kerajaan negeri, kesediaan kerajaan negeri untuk menolak sekiranya usaha untuk joint billing ini tidak menguntungkan kita, kerajaan negeri atau rakyat negeri Johor.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Jimmy Puah Wee TsePKR · PHPengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti · Bukit Batu

Seperti Yang Berhormat Benut. Seperti yang saya katakan tadi, ini merupakan inisiatif daripada pihak kerajaan persekutuan tetapi mereka tidak boleh melaksanakan skim ini tanpa persetujuan kerajaan negeri Johor. Dan saya di sini boleh menyatakan dengan tegas bahawa kerajaan negeri Johor tidak akan membenarkan benda ini berjalan tanpa persetujuan daripada kerajaan negeri Johor setelah mengambil faktor-faktor seperti yang saya telah jelaskan dalam jawapan saya tadi. Terima kasih.

Speaker

OK soalan seterusnya. Jemput Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 8.

Sila menghuraikan persiapan SUKMA 2020 oleh kerajaan Johor dari segi fasiliti, penganjuran acara, logistik/penginapan, pembukaan/penutupan, sukarelawan serta persediaan atlet.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Mohd. Khuzzan bin Abu BakarPKR · PHPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan · Semerah

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih atas soalan Yang Berhormat Stulang.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri pada 29 Oktober 2018 yang lalu, telah menubuhkan satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Induk/Pengelola Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) Johor 2020 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Objektif penubuhan jawatankuasa adalah bagi penganjuran SUKMA XX yang kali terakhir diadakan di Johor Bahru pada tahun 1992 di mana negeri Johor menduduki tempat kedua keseluruhan di belakang Sarawak.

Sebanyak 23 jawatankuasa kecil telah ditubuhkan bagi melancarkan urusan pengelolaan yang mensasarkan negeri Johor menjadi penganjur terbaik di dalam sejarah penganjurannya. Jawatankuasa kecil ini berperanan untuk melihat dan mengambil tindakan ke atas semua aspek penganjuran.

Untuk permulaan, kerajaan negeri Johor telah menetapkan cadangan sebanyak 26 jenis sukan yang akan dipertandingkan meliputi 16 sukan wajib dan 10 sukan pilihan. Kerajaan negeri juga telah mengenal pasti venue-venue kejohanan yang bersesuaian yang menepati kehendak teknikal.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri juga telah melaksanakan langkah proaktif dengan membina kemudahan-kemudahan sukan sama ada bina baru, naik taraf, selenggara ataupun secara sewaan. Semua kemudahan sukan akan dipersiapkan menjelang awal tahun 2020 bagi memberi ruang kepada atlet-atlet negeri Johor berlatih dan menyesuaikan diri dengan venue kejohanan. Perancangan ini akan memberikan banyak kelebihan kepada negeri Johor sebagai tuan rumah pada edisi kali ini dan mensasarkan berada di kelompok 3 teratas keseluruhan.

Di antara kemudahan sukan yang dibina baru adalah stadium olahraga, pusat menembak, arena emas. Arena emas ini adalah untuk acara memanah, lawn bowl, petanque dan skuasy. Velodrom Johor, Pusat Sukan Air Johor, Pusat Pelayaran Johor, Dataran Bola Sepak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan juga Larkin Arena.

Kemudahan-kemudahan yang dinaikkan taraf adalah Pusat Akuatik Johor, Dewan Bola Keranjang Johor serta Stadium Hoki Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Kemudahan-kemudahan yang akan disewa adalah Dewan Kompleks Mutiara Jland, Dewan Sultan Ibrahim, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Johor Bahru, Daiman Bowl, Dewan SSTMI, Dewan

Konvensyen EduHub Pagoh, Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Muafakat Johor Taman Adda, Dewan Jubli Intan Muar, Indoor Arena Educity dan juga Dewanraya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Taman Bukit Indah.

Tuan Speaker, kerajaan negeri juga telah memilih Universiti Teknologi Malaysia sebagai lokasi perkampungan sukan rasmi kerana ianya menawarkan ruang penginapan yang mencukupi dan kelebihan dari segi logistik yang lain. Di samping itu, terdapat 3 lagi mini perkampungan sukan iaitu Batu Pahat, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Parit Raja; Muar, EduHub Pagoh manakala di Kota Tinggi ialah di Kolej Profesional MARA, Bandar Penawar.

Selain itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tempat untuk majlis pembukaan serta penutup termasuklah Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin jika diizinkan. Stadium ini membawa banyak memori dan kenangan indah sewaktu negeri Johor menjadi tuan rumah Temasya SUKMA Ke-4 pada 1992. Pemilihan stadium ini juga berasaskan pelbagai faktor yang tidak perlu dipersoalkan lagi kemampuannya.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pada SUKMA XX dijangka sebanyak lebih kurang 2,000 orang sukarelawan diperlukan bagi membantu pihak Sekretariat SUKMA. Sukarelawan adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat dan borang penyertaan sebagai sukarelawan telah mula diedarkan. Sukarelawan ini akan diberikan kursus dan latihan yang berkaitan bagi membantu melancarkan perjalanan kejohanan. Manakala persediaan atlet juga sedang giat dilaksanakan setelah selesai temasya SUKMA ke-19 Perak 2018 yang lalu. Projek ataupun Program Titanium 2020 telah diperkenalkan untuk atlet negeri Johor bagi mencapai sasaran pingat yang telah ditetapkan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah kepada skuad ParaSUKMA negeri Johor yang telah pun berjaya memenangi 29 pingat emas, 32 pingat perak, 34 pingat gangsa pada kejohanan ParaSUKMA yang lalu di Perak. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ok. Jam sudah menunjukkan pukul 11.00Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Kita tangguhkan persidangan ini sehingga 11.25 pagi. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan atas rundingan bacaan kali yang kedua Enakmen Perbekalan (2019) tahun 2018 dimulakan sekarang. Saya persilakan, Gambir untuk perbahasan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker, pertamanya saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana selepas lebih 22 tahun saya tidak berada dalam Dewan yang mulia ini selepas meninggalkan negeri Johor, saya kembali semula ke Dewan ini pada hari ini (Dewan bertepuk).

Speaker

Tetapi masih muda lagi...

Tapi tak berada dalam parti yang lama.

Speaker

Tetapi masih muda lagi...

Masih muda lagi, Alhamdulillah. Tidak berada dalam parti yang lama tapi telah menubuhkan parti baru yang dinamakan Bersatu. Dan, Alhamdulillah dalam pilihan raya rakyat negeri Johor khasnya, rakyat Malaysia telah memberikan sokongan kepada kita membentuk kerajaan dan mengalahkan Barisan Nasional.

Speaker

Tak menyesal ke tu?

Tak menyesal Tuan Speaker. Ada hikmahnya besar sekali.

Tuan Speaker, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah pada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang pertama kalinya telah pun membentangkan belanjawan ataupun Bajet Negeri Johor 2019 yang bertemakan Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari. Saya juga amat gembira dengan pengumuman Menteri Besar bahawa pertumbuhan ekonomi negeri Johor untuk tahun 2018 diunjurkan pada kadar 5 sehingga 5.2% iaitu lebih tinggi dari kadar nasional dan manakala bagi tahun 2019, ekonomi negeri Johor juga dijangka berkembang pada kadar 5 sehingga 5.5%, juga lebih baik daripada kadar nasional. Saya yakin bahawa belanjawan berjumlah RM1,000,549.34 juta ini adalah satu belanjawan yang agak realistik dan boleh dilaksanakan. Dan ini berdasarkan kutipan hasil negeri untuk tahun 2019 yang dianggarkan mencapai RM1,000,552.78 juta iaitu lebihan ataupun surplus sebanyak RM3.34 juta. Saya percaya dengan dasar fizikal negeri yang berkesan menerusi perbelanjaan berhemah dan berintegriti serta pengurusan yang cekap, maka segala peruntukan yang dijanjikan dalam belanjawan ini akan dapat disalurkan kepada pihak-pihak yang berhak menerimanya. Saya juga ingin mengucapkan tahniah pada kerajaan negeri Johor atas kejayaan menjadi negeri pertama yang berjaya melaksanakan 10 janji manifesto dalam tempoh 100 hari mentadbir kerajaan negeri. Seterusnya saya berharap agar kerajaan negeri Johor akan menjayakan dasar urus tadbir yang telus, berintegriti, cekap, berkesan dan berakauntabiliti selaras dengan janji-janji di dalam manifesto.

Tuan Speaker, seperti mana yang diharapkan oleh rakyat, kerajaan negeri Johor telah memberikan tumpuan awal pada langkah untuk mengurangkan beban kos sara hidup. Peruntukan sejumlah RM32.9 juta yang melibatkan pelbagai inisiatif untuk golongan B40 diharap dapat meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat. Ini isu yang saya kira agak penting dan paling utama. Dan saya percaya inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri akan melengkapkan lagi usaha yang sedang juga dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan untuk mengurangkan bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat. Semua ini tentu sekali akan memberikan manfaat yang berganda kepada rakyat Johor. Selain bantuan-bantuan yang diberikan kepada golongan B40, saya ingin mencadangkan supaya tumpuan utama juga diberikan pada usaha-usaha untuk menambah pendapatan rakyat, income generating, dengan izin.

Saya percaya antara sektor yang agak amat berpotensi menjadi sumber pendapatan utama rakyat negeri Johor ialah sektor pertanian. Ini sudah lama menjadi teras penting di negeri Johor ini. Bermakna yang kita sedia maklum, negeri Johor adalah antara negeri pengeluar makanan utama negara dengan kawasan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, perikanan dan lain-lain lagi yang saya kira punya potensi yang cukup besar sekali. Dan untuk itu, sektor pertanian perlu diberikan tumpuan lebih utama dengan menggalakkan penggunaan teknologi moden, yang berupaya meningkatkan hasil pengeluaran dan menambah pendapatan rakyat. Kerajaan negeri boleh berunding dengan kerajaan persekutuan, Yang Berhormat Menterinya patut sebelah saya, untuk mewujudkan lebih banyak lagi taman-taman pertanian moden yang melibatkan penyertaan sektor swasta dan juga persatuan-persatuan peladang ataupun koperasi-koperasi pekebun-pekebun kecil dalam usaha untuk memajukan kawasan-kawasan pertanian di negeri kita ini. Pelbagai bentuk insentif bantuan dan juga latihan yang sesuai boleh diberikan pada pihak-pihak yang berminat untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian yang berdaya maju. Sehubungan ini, saya menyokong penuh rancangan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meneliti potensi daerah Muar dan Segamat sebagai hab pengeluaran lembu daging terbesar negara. Saya pernah mencuba usaha ini Tuan Speaker di kawasan saya dan memang pun ada kawasan-kawasan termasuk kawasan-kawasan ladang yang boleh diguna pakai sebagai kawasan-kawasan ternakan. Dan, kalau ini dapat kita kembangkan ke kawasan-kawasan lain, bukanlah satu yang mustahil hasil pengeluaran daging di negeri Johor khasnya akan dapat kita tingkatkan dan menemui pasaran yang saya kira masih banyak lagi. Saya berharap agar kerjasama seumpama ini akan dapat diperluaskan pada bidang-bidang pertanian lain yang juga berpotensi untuk dimajukan, seperti mana kita tahu sektor perikanan air tawar, laut dalam dan sebagainya. Ini masih belum kita teroka lagi.

Tuan Speaker, mengenai isu perumahan rakyat, saya mengalu-alukan langkah kerajaan negeri Johor mensasarkan pembinaan 100,000 unit rumah mampu biaya menjelang tahun 2023 dengan sejumlah 12,320 unit akan siap dibina dalam tempoh 2019 hingga 2020. Namun begitu, saya juga ingin menarik perhatian kerajaan negeri berkenaan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam melaksanakan projek ini. Tadi saya telah mendengar penjelasan daripada EXCO Perumahan, panjang lebar tentang usaha ini. Antara yang agak paling utama yang saya fikir perlu diberikan

perhatian ialah isu lama tapi berulang selalu, isu kerenah birokrasi yang saya kira kalau tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan kelewatan dalam pembinaan rumah-rumah mampu biaya. Saya ingat waktu saya jadi Menteri Besar kalau boleh pengalaman dulu, bila ada satu skim khas dibuat, Yang Berhormat Ketua Pembangkang pun bersama saya dahulu, dan kita labelkan semua permohonan-permohonan tu dengan satu warna. Bila datang ke pejabat dia kenal ini projek istimewa, khas mesti diutamakan. Dan kita dengan cara itu dapat menyegerakan proses kerana terlalu banyak jabatan-jabatan, saya kira tak kurang 20 jabatan, agensi yang terlibat dalam nak luluskan sesuatu projek perumahan sebagai contoh.

Jadi, kalau langkah antara lainlah, soal satu pusat sehenti ya. Ini saya fikir sudah dicuba dulu dan ini masih penting dibuat kerana biasanya macam mana kita tahu di peringkat kerajaan Barisan Nasional janji sampai RM1 juta rumah tapi kita tahu tu tak tercapai sebahagian besar pun masih tidak dapat dibina sampai ke hari ini. Jadi, di bawah Pakatan Harapan kita nak cari pendekatan baru supaya setiap jumlah yang kita sebutkan tu kalau tak sampai 100% pun, sekurang-kurang 80% dapat disiapkan dalam tempoh sebelum penggal, kita harap daripada penggal sekarang ni. Jadi, oleh sebab itu saya ingin mencadangkan supaya permohonan kelulusan pembangunan projek rumah mampu biaya diberikan keutamaan oleh jabatan-jabatan terlibat dan untuk ini bagaimana yang saya sebutkan pusat sehenti merangkumi pelbagai agensi boleh diwujudkan untuk memproses permohonan kelulusan pembangunan projek rumah mampu biaya dengan seberapa segera.

Tuan Speaker, saya juga ingin mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri yang akan memberikan tumpuan terhadap pembangunan di wilayah utara negeri Johor yang meliputi daerah Segamat, Muar dan Tangkak. Dan dikatakan sudah pun dimasukkan dalam ECER. Ini satu langkah yang cukup baik dan saya menyokong sepenuhnya. Dan ini juga adalah selaras dengan apa yang kita janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan negeri dalam pilihan raya kita yang lalu. Ini termasuk rancangan pembangunan di daerah Tangkak yang akan terus diperkasakan dengan tumpuan di sektor pelancongan Gunung Ledang, tentu antara tarikan penting, dan kajian untuk membangunkan Taman Perindustrian Bukit Gambir seluas 110 ekar. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan saya lihat dalam ini telah pun dimasukkan jadi satu keputusan yang amat cepat. Jadi, ini tentunya dijangka akan dapat menempatkan 50 ke 70 pengusaha industri kecil dan sederhana di kawasan Gambir dan juga di Tangkak dan menyediakan pastinya banyak peluang-peluang pekerjaan dan juga perniagaan kepada penduduk setempat di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah utara negeri Johor ini.

Tuan Speaker saya juga mengalu-alukan rancangan kerajaan negeri untuk merancakkan pembangunan di daerah Muar dengan memberikan tumpuan terhadap sektor pembuatan perabot. Yang ini kita tahu sudah lama dibangunkan menerusi Taman Perabot Muar dan sektor pendidikan menerusi pembangunan Hab Pendidikan Pagoh. Bagi Hab Pendidikan Pagoh ataupun Pagoh Edu Hub secara khususnya saya amat bersyukur kerana hab pendidikan ini yang saya ilhamkan berapa tahun yang lalu telah pun menjadi kenyataan dengan 6 institusi pendidikan tinggi telah pun mula beroperasi dengan sejumlah pelajar hampir 10,000. Dan, bila saya datang melawat hari itu ada sebuah universiti baru Muhammadiah daripada Indonesia menyatakan hasrat untuk membina satu lagi universiti dengan jumlah 15,000 pelajar Indonesia yang akan datang ke sini untuk belajar di Malaysia. Ini satu langkah yang cukup menggalakkan. Dan saya percaya dengan dukungan kerajaan negeri, hab pendidikan ini satu hari akan menjadi peneraju utama bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi bidang-bidang yang lain. Saya minta kerjasama kerajaan negeri untuk mengambil kira dalam satu tempoh yang sesuai, kawasan ini boleh diisytiharkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan dan kemudahan-kemudahannya perlu dibangunkan itu boleh dibangunkan untuk membangunkan suatu bandar baru di situ.

Pembinaan Bandar Baru Universiti Pagoh untuk fasa 1 telah selesai dan fasa dua baru bermula. Sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan juga Gambir, saya juga mengharapkan sokongan padu daripada kerajaan negeri untuk memudah cara pembangunan di Bandar Universiti Pagoh yang saya percaya akan memberikan limpahan manfaat ekonomi yang besar pada penduduk Pagoh khususnya dan juga Wilayah Utara Negeri Johor amnya.

Tuan Speaker, dari segi galakan pelaburan di negeri Johor, saya mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah-langkah yang lebih agresif untuk mempromosi Johor sebagai destinasi pelaburan asing yang utama di negeri ini. Sebagai sebuah negeri yang terkehadapan dalam pembangunan ekonomi di Malaysia, Johor berpotensi untuk menjadi paksi utama pertumbuhan ekonomi negara. Dulu paksinya di tengah dan cadangan saya Johor jadi paksi utama untuk masa ke hadapan dalam industri dan Johor juga mempunyai potensi yang besar. pelaburan-pelaburan baru

yang harus diambil kira antara lain ialah bidang-bidang teknologi baru seperti artificial intelligent yang dapat menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dan selaras dengan perkembangan terbaharu dalam Industri 4.0 yang bakal menyaksikan penggunaan pelbagai sistem jentera dan peralatan pintar dalam sektor perindustrian di negara kita.

Dalam menggalakkan pelaburan di negeri Johor Tuan Speaker, adalah penting untuk kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik selain mendukung kedaulatan undang-undang, elakkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa atau sebarang bentuk campur tangan yang tidak munasabah daripada mana-mana pihak yang boleh menyebabkan pelabur-pelabur tulen ataupun genuine investor enggan datang ke negeri Johor kerana bimbang bahawa pelaburan mereka tidak selamat dari segi jangka panjang. Saya cakap ini kilas sedikit Tuan Yang Dipertua.

Sebarang keputusan demi pelaburan di negeri tidak boleh dibuat secara sewenang-wenang ataupun arbitrary tetapi sebaliknya perlu melalui proses dan prosedur yang betul mana yang diperuntukkan akta dan undang-undang yang berkuat kuasa. Kerajaan negeri saya percaya, mestilah mewujudkan satu dasar pelaburan yang mesra pelabur, sekarang pun sudah mesra lebih mesra lagi baik di samping memberikan jaminan ataupun keyakinan bahawa pelaburan mereka dilindungi oleh prinsip kedaulatan undang-undang yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak yang berkepentingan. Seperti contoh bila sampai tempoh pajakan itu hendak disambung. Saya dah ditemui oleh banyak pelabur yang bimbang, dia kena mohon pada pihak kerajaan negeri, ada yang ditolak sedangkan pelaburan mereka sudah berjuta-juta di situ, bagi saya bila dia sudah bayar cukai, patut tidak ada halangan sambung sahajalah seratus tahun ke, 99 tahun ke tiada masalah. Tapi yang saya dapati ada yang ditolak, malahan juga list-list pajakan rumah pun tak disambung dalam tempoh yang sewajarnya. Dan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dahulu. Jadi saya tidak tahulah ini dasar baru ke. Tapi semolek mungkin, kalau ini telah dipenuhi dan dia mematuhi syarat bayar cukai, saya fikir tidak ada halangan dan sekatan supaya pajakan itu dapat diberikan dengan lebih mudah lagi.

Tuan Speaker, Perkhidmatan Awam di negeri Johor, saya tahu adalah juga baik, cemerlang. Dan saya cadangkan supaya Perkhidmatan Awam Johor melaksanakan dasar-dasar baru yang digubal atau pun sedang digubal oleh pimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan dan juga di persekutuan untuk faedah rakyat. Dan mengkaji semula dasar-dasar rejim lama yang dianggap tidak lagi sesuai diamalkan. Saya faham ini akan mengambil satu tempoh masa, tetapi lebih cepat lebih baik kerana peralihan daripada pimpinan kerajaan dahulu dengan baru dengan dasar-dasar yang kita tekankan pada hari ini lebih terbuka lebih transparent maka penyesuaian dari segi pelaksanaan oleh Perkhidmatan Awam dalam memenuhi tuntutan dasar baru ini adalah amat penting lagi.

Reformasi Perkhidmatan Awam penting agar ia selari dengan aspirasi rakyat yang telah pun memberikan mandat pada Pakatan Harapan untuk mentadbir negeri Johor dan negara Malaysia kita ini. Untuk membantu kerajaan negeri Johor merancang pembangunan ekonomi yang pesat dan lestari di negeri ini, saya ingin mencadangkan sebuah Majlis Ekonomi Johor yang dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi dan pemain industri dalam pelbagai sektor ditubuhkan. Saya pernah mencadangkan pada Menteri Besar, saya bawa pada Dewan hari ini kalau dapat endorsement saya percaya ramai tokoh-tokoh utama yang lebih terbilang selain daripada yang sedia ada dapat duduk semeja untuk bincang, merancang bagaimana dengan idea baru mereka ini membawa mungkin lebih banyak pelaburan-pelaburan dan membina industri-industri yang boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor lebih daripada apa yang telah pun kita buat sekarang. Bagi saya inilah suatu perkara yang tidak dapat kita elakkan, kalau kita nak melonjakkan pembangunan Johor ini ke hadapan lebih hebat daripada negeri-negeri yang lain. Kita ada mempunyai potensi yang banyak dalam pelbagai bidang perkhidmatan, perindustrian, pelancongan, perindustrian, pertanian, kesemua ini mempunyai kekuatan masing-masing. Tetapi kalau kita dapat melibatkan lebih banyak sektor swasta digandingkan dengan pengusaha-pengusaha tempatan sendiri, maka saya fikir dia akan menjana pendapatan di peringkat negeri yang lebih banyak lagi. Tuan Speaker...

Speaker

Masa satu minit lagi, 20 minit.

Dua, dua para sahaja. Dengan izin. Selain kedudukan negeri Johor yang berhampiran dengan Singapura, adanya kemudahan infrastruktur dan jaringan pengangkutan yang baik juga, potensi untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, saya percaya penubuhan Majlis Ekonomi Negeri yang saya cadangkan tadi berperanan untuk dapat menasihati kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan ekonomi dan akan dapat membantu kerajaan negeri merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini untuk

manfaat negeri Johor seluruhnya. Saya berharap cadangan ini akan dapat disambut baik oleh kerajaan negeri Johor.

Akhir sekali Tuan Speaker, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas pembentangan belanjawan negeri yang pada pandangan saya adalah berupaya meningkatkan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Saya berdoa semoga segala inisiatif yang dirancang dalam belanjawan ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah. Terima kasih Tuan Speaker.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Gambir, (Dewan bertepuk) atas cadangan-cadangan terutamanya dalam konteks pelaburan itu tadi. Seterusnya saya persilakan Serom.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, Serom ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Serom untuk bersama dalam perbahasan Belanjawan 2019 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Osman Sapian pada 29 November yang lalu. Terlebih dahulu Serom juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor bersempena dengan ulang tahun hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Takzim pada 22 November 2018.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Serom ingin merakamkan juga ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri Johor kerana telah berjaya menyediakan dan membentang Belanjawan Negeri Johor buat kali yang pertama pada tahun 2018 ini. Belanjawan ini sangat penting kerana ia menterjemah segala strategi kerajaan hari ini bagi tempoh setahun akan datang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam manifesto Pakatan Harapan negeri Johor bagi tempoh 5 tahun. Ucapan ribuan terima kasih juga kepada agensi-agensi kerajaan yang turut sama terlibat dalam penyediaan belanjawan ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi memulakan perbahasan Serom ingin mengambil perhatian semua yang bersama hadir di Dewan yang mulia ini mengenai perpaduan kaum dan kebebasan beragama dengan agama Islam menjadi agama rasmi yang menjadi resipi penting kepada pembinaan negara kita Malaysia seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan begitu juga Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. Perkara ini telah menjadi polemik berterusan di dalam negara apabila tiba-tiba munculnya ICERD. Pelbagai pihak telah memberikan pendapat sama ada mewakili organisasi ataupun secara peribadi sama ada bebas ataupun berkepentingan. Bermacam-macam pandangan telah diutarakan dan ada yang sehingga telah dan akan meneruskan hajat untuk menganjurkan perhimpunan di pelbagai peringkat walaupun kerajaan pada hari ini telah membuat keputusan untuk meratifikasikannya.

Serom ingin menyampaikan mesej mudah untuk perkara ini. Lupakanlah ICERD, ia tidak perlu bagi kita rakyat Malaysia kerana Perlembagaan telah secara jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan akan memelihara semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama sesuai dengan Rahmatan Lil Alamin.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk perkara yang kedua, Serom ingin menyampaikan secara selari dua isu untuk perhatian semua hadirin di Dewan yang mulia ini iaitu yang pertama, kos sara hidup dan kadar pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, melalui Belanjawan Johor 2019 dengan semangat untuk Menerajui Perubahan Dengan Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari, Serom ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan hari ini yang telah menyediakan pelbagai inisiatif menarik dan praktikal di dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat keseluruhannya dan pada masa yang sama berusaha mencipta pelbagai peluang baru bagi menjana pendapatan kepada rakyat dan negeri ini. Ini termasuklah cadangan untuk menggalakkan dan berupaya Koperasi Komuniti Johor dengan geran padanan RM1 juta. Serom sangat menyokong usaha ini kerana ia selari dengan program komuniti ekonomi yang juga telah dirancang untuk dirujuk, diwujudkan melalui Belanjawan Johor 2019. Melalui usaha secara bersama dan hasilnya turut dikongsi secara saksama melalui konsep koperasi ini maka kemakmuran yang dijana hasil pelbagai projek ekonomi yang diusahakan akan turun dapat dirasai semua pihak mengikut kadar pelaburan masing-masing. Untuk itu, Serom mencadangkan kepada

pihak kerajaan yang melakukan usaha, untuk melakukan usaha-usaha secara tersusun ke arah perwujudan koperasi-koperasi komuniti ini dengan pelbagai aktiviti-aktiviti ekonomi agar ia dapat dilakukan di semua kawasan seluruh negeri Johor. Serom mencadangkan satu badan khas diwujudkan agar segala usaha dapat di selaraskan dan dana yang diperuntukkan dapat digunakan untuk sebaik-baiknya demi manfaat rakyat Johor. Ini satu daripada strategi-strategi atau inisiatif yang telah digariskan oleh kerajaan hari ini. Dan banyak lagi, banyak lagi idea-idea segar dan baru yang telah dibawa, tidak seperti mana kata orang sebelah sana yang mengatakan satu sahaja iaitu industri terang-terangan sedangkan banyak lagi idea-idea yang telah disenaraikan

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk perkara yang ketiga, Serom ingin membawa perhatian semua di Dewan yang mulia ini kepada perkara berkaitan dengan Rumah Mampu Biaya. Adalah menjadi harapan semua pelbagai peringkat rakyat untuk memiliki rumah. Kita sedar akan perkara ini. Dan ia selaras dengan Teras Pertama dan Keempat bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan demokrasi dinamik serta kesaksamaan sosial. Rumah Mampu Biaya dengan pelbagai strategi baru yang digariskan melalui Belanjawan Johor 2019 hari ini bagi membantu kerajaan hari ini mencapai sasaran 100,000 unit pada tahun 2023. Namun, berdasarkan prestasi semasa pembinaan yang siap sehingga 2018 hanya 3,714 unit dan dijangkakan pada 2020 meningkat kepada 12,320 dan seterusnya sehingga 2023 hingga 23,643. Prestasi ini jauh daripada sasaran 100,000 yang ditetapkan. Melalui belanjawan 2019 ini pelbagai strategi baru telah diperkenalkan bagi menampung kekurangan ini. Dan, ini termasuklah, termasuklah menghapuskan kuota kerajaan menegak yang diamalkan dalam pengagihan Rumah Mampu Milik Johor dalam kerajaan sebelum ini.

Apa yang Serom ingin bangkitkan dalam perkara ini ialah tentang isu agihan projek rumah. Kita mungkin mampu membina 100,000 unit tetapi jika kita tidak mampu mengagihkannya secara saksama pada seluruh penduduk atau pun rakyat negeri Johor maka ianya akan menjadi hanya sia-sia kerana hanya sebahagian memilikinya sedangkan slogan Johor, ‘Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama’. Bilangan unit yang perlu untuk setiap kawasan di negeri Johor perlu dikenal pasti dan strategi yang sesuai untuk merealisasikannya perlu di putuskan dengan memperbanyakkan konsep-konsep seperti contohnya rumah pangsa bagi kawasan-kawasan yang mempunyai tanah yang terhad.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk perkara yang keempat, Serom ingin membawa perhatian semua di Dewan yang mulia ini, kepada isu tanah terbiar. Isu ini juga menjadi perhatian di dalam Belanjawan 2019. Dan isu tanah terbiar ini sepertimana yang kita sedia maklum, boleh berlaku dan telah berlaku atas pelbagai sebab. Ia juga menjadi punca kepada pelbagai masalah dan antara masalah besar yang melanda kawasan hari ini ialah dengan pembiakan binatang-binatang liar seperti monyet, khinzir, ular dan sebagainya yang akhirnya mengancam kehidupan masyarakat. Tanah-tanah terbiar ini perlu diusahakan. Suatu mekanisme perlu disediakan bagi memberi penyelesaian jangka panjang kepada isu-isu ini termasuklah memberi peluang kepada yang tiada tanah untuk mengusahakannya. Terlalu banyak tanah yang terbiar tetapi pada masa yang sama terlalu ramai juga yang tiada tanah. Jadi, Serom mencadangkan untuk tanah-tanah ini dilihat semula bukan untuk diambil tetapi untuk diusahakan.

Selaras dengan teras belanjawan, teras kedua Belanjawan Johor 2019 iaitu Pembangunan Lestari Dan Pemuliharaan Sumber, Serom ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan suatu badan khas untuk menyelaras usaha-usaha memadankan di antara tuan-tuan tanah yang terbiar dan pengusaha-pengusaha yang berminta mengusahakannya untuk pelbagai aktiviti seperti pertanian mahu pun pembangunan. Yang akhirnya boleh menjana pendapatan untuk rakyat, ia boleh diusahakan sama ada di bawah payung seperti koperasi atau pun badan-badan lain. Koperasi komuniti yang telah dicadangkan di dalam Belanjawan 2019 adalah merupakan antara platform terbaik bagi mengusahakannya. Dan ini, selari juga dengan sasaran kerajaan Johor untuk menjadikan Johor sebagai agro makanan.

Usaha-usaha ini bukan sahaja menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, maka malah ia juga akan membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dan pada masa yang sama menyokong kadar pertumbuhan ekonomi pada untuk jangka masa panjang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk perkara yang kelima, Serom ingin membawa perhatian semua yang di Dewan mulia ini, kepada isu pengurusan sampah sarap khususnya bagi kawasan luar bandar. Isu ini menjadi antara isu yang seolah-olahnya tiada berpenghujung bagi penduduk khususnya kawasan luar bandar. Saya mohon perhatian kepada semua untuk melihat isu ini secara sedekat. Hari ini, kedudukan bandar dan setengah kawasan luar bandar terlalu hampir dengan

jumlah rakyat yang mendiami kawasan bandar juga semakin tinggi selari dengan kadar pertumbuhan penduduk. Bilangan rumah-rumah yang dibina di kawasan luar bandar juga meningkat dengan ketaranya bagi sesetengah kawasan luar bandar. Dari sempadan di antara kawasan-kawasan Majlis Daerah dan Perbandaran yang mengurus sampah juga terlalu hampir. Dan, kadang-kala sampah juga melimpah ke kawasan-kawasan luar bandar. Jumlah sampah sarap yang dijana daripada situasi ini juga semakin tinggi dan ini tidak mampu diselesaikan secara tradisi seperti yang diamalkan sebelum ini. Ini juga menjadi punca wujudnya kawasan sampah haram yang akhirnya mewujudkan persekitaran tidak selesa dan masalah kesihatan penduduk sekitar. Oleh itu, selaras dengan teras pertama dan kedua dalam Belanjawan Johor 2019 ini iaitu Menjamin Kesejahteraan Rakyat dan Pembangunan Lestari Serta Pemulihan Sumber, Serom ingin mencadangkan pihak kerajaan untuk membangunkan suatu mekanisme khusus untuk menangani isu ini termasuklah menyediakan konsep baru pengurusan sampah yang lebih mesra alam. Peruntukan khas perlu disediakan untuk tujuan ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum Serom mengakhiri perbahasan, terfikir bahawa perbezaan pendapat hari ini kalau dahulu kita tahu bahawa perbezaan pendapat adalah merupakan suatu rahmat, begitu juga dengan kritikan ia adalah sangat baik di dalam membantu dan menyumbang idea kepada kemajuan anak bangsa dan negara amnya. Namun hari ini, terdapat kemusykilan apabila rakan-rakan pembangkang sebelah sana memilih hanya untuk membandingkan belanjawan Johor dengan bajet kerajaan terdahulu dan claim dengan izin, kononnya 87% dari yang lama. Ini jauh berbeza dari sikap-sikap yang diambil oleh kalangan rakan-rakan kita yang dulunya berdiri di sebelah sana tetapi hari ini duduk di sebelah ADUN kerajaan berfikir. Kita membangkang dari sudut good government dan sebagainya tetapi hari ini hanya sekadar membanding-bandingkan belanjawan. Adakah ini yang dikatakan pembangkang matang? Akhir kata Yang Berhormat Tuan Speaker, Serom mohon Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Menteri Besar dan seterusnya Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan untuk memberikan pertimbangan sewajarnya kepada cadangan-cadangan yang telah Serom bangkitkan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri Johor. Serom juga ingin merakamkan sepenuhnya sokongan kepada Belanjawan 2019, ‘Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Johor Bistari. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wasallamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih kepada Serom. Untuk makluman semua bahawa kita telah di datangi oleh pemerhati daripada pelajar-pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia, UTHM. (Dewan bertepuk). Seramai 35 orang di bawah kelolaan kelas. Yang kedua adalah kita juga di datangi oleh pemerhati daripada DUN Bukit Permai. Ada di atas, terima kasih kerana hadir dalam persidangan kali ini. Seterusnya saya persilakan Sedili.

Tuan Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHBukit Permai

Terima kasih. Terima kasih. Bukit Permai sahaja ada Tuan Speaker, terima kasih.

Speaker

Tak apalah kita tangguh 2.30 petang. Masa pun cukup lagi, insya-Allah. Tak apa kita tangguh, kita tangguh sampai 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12.00 tengah hari.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. YB Sedili, jemput.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam perjuangan kepada Yang Berhormat Speaker dan rakan-rakan Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Speaker, sebagai pembuka bicara saya ingin menzahirkan ucapan Alhamdulillah dan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan kurnianya saya diberikan kesempatan sekali berdiri dalam Dewan yang mulia ini, mewakili rakyat Sedili untuk bersama-sama mengambil bahagian perbahasan Belanjawan Johor 2019. Pada kesempatan ini juga, saya merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2018. Semoga baginda tuanku serta keluarga di Raja akan terus diberkati dan dirahmati untuk terus

menaungi negeri Johor ini dengan adil serta bijaksana. Tidak lupa juga saya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Osman bin Sapian, Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Dato’ Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor yang dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor, (SPMJ) oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Yang Berhormat Speaker, sebelum membahaskan lebih lanjut Belanjawan Tahun 2019, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat ketua pembangkang di atas ucapan tahniah kepada saya dan dua lagi DUN, Johor Lama dan Endau kerana tidak lagi menjadi ADUN Bebas. Ketua pembangkang juga mengharapkan kami selepas ini lebih berfungsi dan mempunyai hala tuju. Saya tidak pandai hendak menghentam, terutama kepada pihak pembangkang kerana mereka semua merupakan rakan-rakan saya yang sepatutnya lebih mengenali dan tahu cara saya bekerja. Selama bergelar Yang Berhormat masuk penggal ketiga ini, saya telah menjalankan fungsi sebagai Wakil Rakyat dengan baik. Malah saya sentiasa mempunyai perancangan serta hala tuju untuk rakyat dan pengundi di Sedili.

Namun yang tidak seronoknya ada pandangan serta cadangan yang saya bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini dipandang sepi oleh kerajaan terdahulu. Rakyat dan pembangunan di Sedili banyak ketinggalan dalam kerancakan pembangunan di negeri ini, sedangkan DUN Sedili merupakan sebahagian kekuatan kerajaan dahulu. Sahajalah saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, semasa Yang Berhormat menjadi EXCO dahulu dan memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk menjaga FELDA, berapa banyak isu FELDA yang diperjuangkan dan dibangkitkan dalam Dewan? Yang Berhormat Ketua Pembangkang bukan sahaja tidak ambil tahu hal FELDA, malah FELDA di Sedili pun tak pernah dilawat. Begitu juga pembangunan untuk di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, pembinaan 100 buah rumah orang miskin Taman Sinar Sedili di Kampung Tanah Putih, yang itu saya sendiri jumpa dan minta kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ketika itu Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal itu pun bekas EXCO ambil kredit dan masukkan dalam bajet tahun lepas.

Bukan itu sahaja malah isu air bersih di Gugusan Waha dan Gugusan Lok Heng juga, bekas EXCO tak dapat diselesaikan. Berpuluh tahun, FELDA di Gugusan Simpang Waha, Bukit Waha, Bukit Easter, Lok Heng timur, Lok Heng Barat, Lok Heng Selatan tak pernah selesai isu air. 10 tahun saya bawa dalam Dewan ni, tak pernah dijawab dalam perbahasan yang lepas.

Saya nak beritahu juga, untuk pengetahuan Yang Berhormat Ketua Pembangkang, Sedili dan DUN Johor Lama merupakan anak peneroka FELDA. Jadi, kami amat peka dengan isu-isu FELDA di mana semasa Yang Berhormat Ketua Pembangkang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak ada pula kami dengar isu yang diperjuangkan khasnya berkenaan dengan FELDA. Bukan saya sahaja anak peneroka FELDA, bukan daripada Johor Lama di kalangan anak peneroka FELDA, Bukit Permai peneroka FELDA, Teluk Mahkota bekas Pengurus Besar FELDA. Saya nak beritahu yang Berhormat Dato’ SS pun anak peneroka FELDA. Yang Berhormat PKN pun anak peneroka FELDA, takkanlah kita nak, tak nak ambil tahu tentang soal FELDA. Begitu juga, saya nak beritahu juga berkenaan dengan Layang-Layang. Saya nak beritahu Layang-Layang kalau saya nak cerita betul-betul, kerana dia winnable cable akhirnya EXCO yang lepas merupakan anak peneroka Layang-Layang pun dibuang tak jadikan calon yang lepas. Kalau saya nak pergi ke FELDA-FELDA, bayangkanlah saya boleh cerita apa yang Layang-Layang cerita pasal soal perjuangan. Dia duduk Kuala Lumpur, bukan duduk di FELDA. Kalau bukan orang FELDA, tak pernah lahir di FELDA, tak pernah dibesarkan di FELDA, jangan cerita pasal FELDA. Ini baru sekali dia jadi wakil rakyat, terus nak cerita pasal FELDA, perjuangan. Kita kena ingat sejarah. Dulu harga kelapa sawit RM50.00 satu tan. Bukan sekarang RM200.00, dulu RM50.00 satu tan.

Yang Berhormat Speaker, walau bagaimanapun saya tidak menafikan yang membela FELDA sebelum ini ialah mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang lepas. Beliau ada memberi peruntukan MARRIS sebanyak RM40 juta untuk membaik pulih jalan-jalan FELDA di seluruh negeri Johor pada 2017 dan 2018. Jadi, Sedili berharap kerajaan negeri sekarang akan mengekalkan peruntukan tersebut untuk tahun-tahun yang akan datang. Yang baik, baik. Sebab tu Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkata, saya pun kadang-kadang tak faham. Dulu, itu hari dia bentang dia kata ini copy paste. 87% copy paste kerana yang baca sebelah sini. Kalau yang baca sebelah sana efficient, bagus, bagus, terlampau bagus. Kerana yang bacanya orang sebelah sini tu yang jadi tak bagus.

Yang kedua, hormatlah ni kakitangan-kakitangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dah cakap dah, terima kasih kepada UPEN, terima kasih kepada kerajaan negeri, terima kasih jabatan-jabatan kerana membentangkan Bajet 2019. Saya terkejut, pening saya. Dulu masa kat sini semuanya bagus, bila kat sebelah sana, inilah dia, kadang-kadang kita ni bila dah ada kuasa, kita tak guna kuasa sebaik mungkin. Bila Allah kita bagi kita, tarik balik kuasa yang kita ada inilah dia dah macam tak betul. Dah bingung dah.

Jadi, Yang Berhormat Speaker, saya bekerja untuk rakyat Sedili. Jadi, tidak kira kerajaan mana yang memerintah, kalau rakyat dan DUN Sedili dipinggirkan daripada arus pembangunan, saya akan bangkitkan. Malah dengan kerajaan dulu pun saya suarakan.

Kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, tidak mengapalah jika beliau nak cakap saya salin baju, buka topeng ke, cakaplah selagi boleh cakap, cakap. Segala kutukan tidak akan melunturkan semangat saya untuk berkhidmat kepada rakyat saya. Malah, kutukan itu saya terima dengan berlapang dada. Yang penting rakyat Sedili tahu keputusan dan tindakan yang saya ambil adalah demi mereka dan Sedili. Baru-baru ni Yang Berhormat pergi ke Sedili, maaf pergi ke Johor Lama, Ketua Pembangkang pergi ke kawasan Johor Lama ke Lok Heng, tak malu ke air pun tak selesai, lepas nak ceritakan kitalah perjuangan FELDA. Kita yang bekerja keras tentang FELDA, air tak selesai. Cuma kita kawan, tak hendak jadikan isu macam tu. Tapi jangan terlampau hentam sangatlah, patut-patutlah kita kawan dah lama dah. Ini politik ni biasa. Politik ni biasa tak bawa ke mati. Ini sampai dulu tu masa di sana, duduk di sini kalau makan kat sana, di sana tak datang makan dia marah. Hari ini makan kat sana, di sini pergi makan kat sana, kat sana pun tak makan kat sana. Dua kali lima rupanya.

Jadi, sudah-sudahlah Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Hentikan berpolitik kerana sekarang masa untuk bekerja untuk rakyat. Yang Berhormat Ketua Pembangkang juga cakap, nak jadi pembangkang yang berwibawa dan menjadi check and balance, dengan izin, kepada kerajaan negeri yang baru ini. Malah, jadi, marilah kita sama-sama membuat kerja untuk memikul amanah yang rakyat berikan.

Yang Berhormat Speaker, Sedili yakin Belanjawan Johor 2019 bertemakan Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari dengan menggariskan 6 teras strategi merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus dibentangkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan dapat terus merancakkan lagi pembangunan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus limpahannya akan dapat dinikmati di segenap lapisan rakyat Johor. Sedili juga berterima kasih kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan yang bukan sahaja turut mengakui serta mengiktiraf sebagai kemajuan yang dijalankan kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional tetapi juga mahu meneruskan insentif baik yang dibuat malah akan turut ditambah baik.

Pembentangan belanjawan kali ini yang akan memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan selain usaha menangani kos sara hidup turut memberikan khabar gembira kepada rakyat Johor. Antara lain kerajaan persekutuan bersetuju untuk melupuskan hutang lapuk kerajaan negeri sebanyak RM189 juta selain mengumumkan kerajaan negeri memberikan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,500.00 kepada kakitangan kerajaan negeri Johor dan kakitangan awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri Johor pada tahun hadapan. Selain itu juga, saya menyokong dan menyambut baik penegasan kerajaan negeri yang menolak usaha meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan bentuk diskriminasi kaum (ICERD) di negara ini.

Yang Berhormat Speaker, tema Belanjawan 2019 itu juga amat berkesesuaian dengan kawasan DUN Sedili yang sudah bersedia dan mahu menerajui perubahan yang ingin dibawakan kerajaan negeri baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan. Perubahan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sedili selama ini. Saya percaya, segala peruntukan yang diterima secara langsung atau tidak langsung untuk rakyat dan kawasan DUN Sedili dalam pelbagai aspek menerusi belanjawan Johor 2019 akan merancakkan lagi pembangunan serta pertumbuhan ekonomi di Sedili. Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana meneruskan projek membina jalan baru dari Kampung Belukar Durian ke persimpangan FELDA Simpang Waha, fasa kedua dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Fasa pertama projek ini dengan peruntukan RM60 juta sedang rancak dijalankan dan kini sudah pun 60% siap. Pembinaan jalan baru itu dapat memendekkan masa perjalanan penduduk-penduduk di Kampung Gugusan FELDA Bukit Waha, Simpang Waha dan Bukit Easter yang dianggarkan seramai lebih kurang 12,000 orang ke Sedili selama 20 minit, dari mana, di mana buat masa ini mereka terpaksa menggunakan jalan laluan ke Mersing untuk ke Sedili dan ia memakan masa 45 minit. Jalan baru itu apabila siap

kelak bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk di kawasan terlibat, termasuk merancakkan lagi ekonomi pelancongan yang mampu menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat. Dengan siapnya jalan baru itu, penduduk di kawasan berkenaan juga dapat membeli ikan serta makanan laut yang bukan sahaja segar tetapi juga murah berbanding pada masa ini mereka membeli belah di bandar Kota Tinggi dan ia sekali gus dapat mengurangkan beban kos sara hidup.

Selain itu, bagi meletakkan Sedili sebagai antara peneraju perubahan kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan ini, saya memohon supaya jalan dari Mawai ke Kampung Sayang menuju ke Sedili di naik taraf ekoran keadaan jalan raya di sepanjang jalan itu sangat teruk malah kawasan itu juga kerap berlaku kemalangan. Jalan tersebut merupakan antara dua jalan utama untuk ke Sedili selain ia turut melalui jalan ke kampung yang didiami penduduk Orang Asli daripada suku kaum Kanak yang merupakan satu daripada 18 suku kaum Orang Asli di negara ini. Pun, 10 tahun saya selalu cakap tentang soal kaum Kanak. Di dunia hanya kaum Kanak yang ada di kawasan Sedili. Dengan hanya seramai 89 orang daripada 24 buah keluarga orang Kanak menjadi suku kaum Orang Asli paling kecil bilangan penduduknya di dunia berbanding dengan suku kaum Orang Asli lain. Kampung Orang Asli Kanak itu juga turut dikunjungi pelancong dari luar negara.

Pada masa sama, saya juga mahu mencadangkan kerajaan negeri meneruskan projek menaik taraf jalan di sepanjang pesisir pantai bermula dari Bandar Penawar, menuju ke Sedili dan menghala ke Mersing kerana keadaannya yang kurang elok selain tidak mempunyai lampu jalan. Suka juga ingin saya bangkitkan mengenai permohonan untuk meneruskan pembinaan jambatan Cik Pong yang menghubungkan antara Kampung Lembut dan Kampung Teluk yang telah dipohon 7 tahun lepas. Selain itu, Sedili juga berharap kerajaan negeri meneruskan pembinaan jambatan di Kampung Telok. Keadaan jambatan itu sangat uzur dan menunggu masa untuk roboh, yang telah diluluskan kerajaan negeri terdahulu dengan peruntukan RM5 juta. Jambatan itu penting bagi penduduk kawasan sekitar kerana ia merupakan jambatan utama yang menghubungkan dua buah sekolah dan tiga buah kampung. Ia juga merupakan laluan pekebun dan petani membawa keluar hasil-hasil pertanian mereka untuk dijual. Sedili juga ingin memohon kerajaan negeri memberi peruntukan untuk membesarkan jambatan yang menghubungkan jalan antara Mawai ke Mersing sebelum sampai ke kawasan FELCRA Sungai Ara. Jambatan di situ terlalu sempit dan menyebabkan kerapnya berlaku kemalangan.

Yang Berhormat Speaker, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pekan Sedili telah wujud sebelum merdeka lagi. Namun, sehingga hari ini pekan itu tidak dibangunkan. Malah kedai dan rumah di kawasan itu juga masih berdindingkan papan. Untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, pekan itu umpama pekan koboi, sebuah pekan yang mundur, tidak mempunyai kemudahan serta infrastruktur yang baik. Pekan itu tidak mempunyai bank, stesen minyak dan juga tidak dilengkapi perhentian bas. Betapa daifnya pekan Sedili ini. Menteri Besar terdahulu penah mengadakan lawatan ke pekan Sedili dan beliau berbesar hati mengumumkan supaya pekan Sedili itu dibangunkan dan dilengkapkan dengan kemudahan serta infrastruktur dan beliau telah meminta Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk melaksanakan projek membangunkan pekan Sedili. Justeru, besarlah juga harapan saya supaya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan projek pembangunan Pekan Sedili.

Yang Berhormat Speaker, kalau nak bercerita pasal ancaman gajah liar di kawasan Sedili, memang tiada kesudahan. Hampir setiap kali Dewan yang mulia ini bersidang, saya tidak pernah gagal untuk membangkitkan mengenai ancaman gajah liar yang sudah berlarutan sejak sekian lama. Malah ia bukan sahaja menjadi ketakutan kepada penduduk tetapi turut menyebabkan kerugian kepada pekebun kecil, ladang-ladang kawasan FELDA dan FELCRA kerana gajah itu turut menghapuskan tanaman mereka. Sehubungan itu, saya berharap kerajaan negeri menerusi EXCO terlibat supaya dapat mempercepatkan tindakan bagi menangani isu ancaman gajah tersebut. Ya, kita tahu pembinaan santuari gajah bagi menempatkan haiwan itu sudah diumumkan, bagaimanapun fasa pertama pembinaan tempat itu bergerak perlahan. Malahan fasa kedua pula masih belum ada apa-apa tindakan. Jadi…

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, 2 minit lagi.

Jadi saya berharap segala tindakan berkaitan dapat dipercepatkan. Tak kan nak tunggu ada kemalangan maut disebabkan gajah liar itu, baru kita bertindak. Ini bukan isu baru, ini adalah isu lama.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, perkara membabitkan antara lain pembinaan serta menaik taraf jalan dan jambatan, penyediaan kemudahan dan infrastruktur, projek pembangunan Pekan Sedili dan juga santuari gajah dibangkitkan kerana ada sebabnya. Selain mahu melihat kerancakan pembangunan di situ, saya percaya Sedili amat berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan yang menarik serta menawarkan kepelbagaian pilihan produk kepada pelancong baik dari dalam negara mahu pun dari luar negara ke Johor. Sedili ini terletak bersebelahan dengan kawasan Desaru, yang kini pesat dibangunkan sebagai salah satu tarikan pelancong di negara ini. Namun saya percaya ia hanya mampu dikunjungi golongan berkemampuan dan atas sebab itu saya yakin Sedili dapat memenuhi pelancongan mampu milik yang tidak ditawarkan di Desaru, sekali gus menawarkan kepelbagaian produk pelancongan dan pada masa sama melengkapi sektor tersebut antara Desaru dan Sedili.

Bagi menjayakan usaha tersebut, saya mencadangkan kerajaan negeri menerusi Tourism Johor untuk membangunkan Sedili terutama di kawasan pantai seperti di Teluk Mahkota, yang mempunyai potensi pelancongan yang besar termasuklah agensi Majlis Daerah, KEJORA, dan PBT Pengerang. Kalau Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini terutama EXCO Pelancongan dan tidak lupa juga Yang Berhormat Speaker dan Yang Amat Berhormat Menteri mempunyai kelapangan, silalah berkunjung ke Teluk Mahkota. Dulu dan kini kawasan sekitar pantai tersebut sama sahaja, tiada perubahan dan tarikan. Justeru sudah tiba masa kawasan tersebut dibangunkan. Untuk pengetahuan semua Ahli Dewan yang mulia ini, di Sedili ini juga menempatkan penetasan belangkas, merupakan satu-satunya yang ada di dunia, maka dengan kelebihan yang ada di Sedili kerajaan negeri menerusi Tourism Johor perlu merebut peluang itu untuk mempromosikan Sedili khasnya dan Johor amnya supaya dikenali sebagai tempat tarikan pelancong. Yang Berhormat Speaker…

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa sudah tamat.

Bagi saya 2 minit je dah nak habiskan.

Timbalan Speaker

1 minit.

Sia-sia saya lompat ke sini. (Dewan ketawa).

Timbalan Speaker

Ya, ini pertama kali ya.

Kalau saya lompat ke sini masa saya macam dulu juga, tak ada perubahan (Dewan ketawa). Yang Berhormat Timbalan Speaker, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas persetujuan yang Amat Berhormat Menteri Besar mempercepatkan permohonan tapak lot-lot rumah generasi kedua FELDA di DUN Sedili dan DUN Johor Lama yang melibatkan 3 buah FELDA. Ucapan terima kasih juga kepada Pejabat Pentadbir Tanah Kota Tinggi yang turut membantu mempercepatkan, sekali gus melancarkan proses tersebut. Respons pantas yang diambil itu telah membantu anak-anak generasi kedua FELDA memiliki rumah sendiri, di mana mereka pada masa ini menetap bersama ibu bapa masing-masing. Ada yang satu rumah didiami sehingga 2 atau 3 keluarga.

Justeru, usaha mempercepatkan proses situ dapat memberi keselesaan kepada mereka yang terlibat. Pada masa sama, saya mewakili mereka merayu supaya bayaran premium tanah tersebut dikurangkan daripada RM3.00 kepada RM1.00 satu kaki persegi. Ini kerana pemohon rumah generasi kedua itu kebanyakannya kurang berkemampuan untuk membayar harga premium yang pada mereka agak tinggi. Kalau setiap lot rumah luasnya adalah 5,000 kaki persegi dan jika dikenakan bayaran satu kaki RM3.00 maka mereka perlu menyediakan sebanyak RM15,000.00 dan dia agak membebankan kepada mereka. Justeru itu, Sedili juga memohon kerajaan negeri mempercepatkan permohonan hak milik peneroka-peneroka FELDA bagi peringkat kedua dan ketiga yang telah pun menjelaskan hutang-hutang mereka seperti di Simpang Waha, FELDA Bukit Easter dan juga di FELDA di Bukit Waha tidak lupa juga permohonan hak milik, khasnya di kawasan kampung-kampung tradisional.

Timbalan Speaker

2 minit sudah sampai.

Saya bagi mintak peluang lagi sekali 1 minit. (Dewan ketawa) Yang Berhormat Timbalan Speaker, sebelum mengakhiri ucapan saya Sedili merayu kepada…

Timbalan Speaker

Sila patuhi peraturan sidang sebab nanti saya kalau bagi Sedili 1 minit, yang lain mintak lagi 1 minit.

Oklah. Seandainya tengok Yang Berhormat sana ketawakan saya pasal 1 minit. Dia tepuk meja untuk saya, kalau dia tepuk saya, Yang Berhormat semua pun terasa. Belalah saya. Belalah rakyat Sedili, dia pun pengundi, beribu, yang 3 kali setiap pemilihan, menang besar.

Timbalan Speaker

Tak apa, lain kali, lain kali, lain kali boleh berucap lagi.

Akhir kata. Tak apa, tak apa, ini biasa. Ini politik, jangan membina rumah di tepi pantai, kalau takut dilambung ombak. Baru cerita sikit dah menggelatat, dah bingung. Pasal tak pernah duduk kat pembangkang…

Timbalan Speaker

Sila duduk, sila duduk.

Jadi, seandainya kata-kata saya ada menyinggung hati dan perasan Yang Berhormat, Yang Berhormat kerana yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan yang buruk itu datangnya dari kedangkalan ilmu dan pengalaman, yang ada pada diri saya. Saya sudahi dengan assalamualaikum warahamatullahi taala wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Stulang, jemput.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Puan Speaker, kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas dalam persidangan bajet kali ini. Terlebih dahulu sempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada November yang lalu, patik mengambil kesempatan untuk merafak sembah untuk menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada di dalam keadaan sihat sejahtera.

Tahniah juga diucapkan kepada Menteri Besar atas pembentangan bajet yang cukup komprehensif. Sebelum saya mendalami ucapan saya, ingin saya memberi sedikit pandangan berkenaan dengan hujah yang dibawa oleh sebelah saya, di mana pihak ketua pembangkang juga mengatakan ingin memulang balik bilik pembangkang dan elaun. Kerajaan Johor memang ikhlas dalam penambah baik sistem demokrasi kita dan memberi pengiktirafan yang patut dan peruntukan pejabat kepada Ahli Dewan Negeri pembangkang. Dulu kami langsung tak ada. Bahkan disangkal hak di peringkat akar umbi. Tetapi malangnya keikhlasan kerajaan Johor ini tidak dibalas dengan kesyukuran, malah diperalatkan untuk meraih publisiti murah seolah-olah Ketua Pembangkang adalah hero dan mempunyai keberanian untuk menidakkan pengiktirafan.

Stulang amat setuju dengan hujah Senggarang yang mengatakan bahawa perjuangan sebegini harus diteruskan dengan pemulangan peruntukan pejabat yang diberikan oleh kerajaan. Tetapi Sri Medan pula seolah-olah rasa berat nak pulangkan peruntukan pejabat. Cakap dah habis pakai. Stulang tidak tahu sama ada keputusan ini adalah konsesi setiap ahli pembangkang? Jadi, hujah Ketua Pembangkang untuk memulangkan elaun dan pejabat telah menimbulkan rasa serba salah oleh ahli pembangkang yang lain kerana yang lain semuanya tak nak pulangkan. Kerana tidak ada satu pun ahli pembangkang yang menyuarakan hasrat untuk memulangkan peruntukan pejabat. Jadi, ini seperti kata pepatah, ibarat telur sesangkar pecah sebiji, pecah semua. Maksudnya kesilapan yang dilakukan seorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.

Jadi rata-rata, kebanyakan ahli pembangkang hari ini mengatakan seolah-olah apa yang dibuat oleh kerajaan sekarang semua adalah tiruan daripada kerajaan Barisan Nasional dulu. Malah perkataan seperti reclaim, repeat, rebranding, copy and paste telah pun dilanjurkan. Memanglah ada sesetengah perkara ada persamaan dan kemiripannya dari segi tajuk dan sebagainya, tetapi yang beza pasti adalah inti pati dan cara perlaksanaan kita. Dulu di bawah BN apa, menggunakan perancangan yang hebat untuk menutup kegagalan rancangan hebat mereka sebelum ini. Inilah sebabnya mengapa rakyat menolak BN. Sehingga komponen-komponen BN pun telah meninggalkan mereka. Ini yang berlaku, tender terbuka, habiskan kuota menegak kerajaan, air percuma, pemansuhan lesen penjaja dan sebagainya. Mengapa tidak dipuji? Jadi yang pasti, kerajaan baru tidak akan copy and paste, ketidakcekapan atau skandal-skandal seperti pemimpin-pemimpin BN yang sekarang dibawa ke mahkamah atas rasuah. Kita tidak akan copy and paste benda-benda macam ni. Kerajaan baru telah, di sini saya nak pakai satu perkataan, telah delete mereka yang tidak

sesuai. Mereka sebenarnya rakyatlah yang tolong delete BN, tinggal sikitlah lagi saki baki yang mungkin lupa save.

Jadi, Stulang menyarankan pihak di sebelah sana kalau nak teruskan dengan hujah 3R ini, teruskanlah pada persidangan yang akan datang. Rakyat akan melihat jelas pembangkang sudah ketandusan idea berlainan dengan kami semasa kami menjadi pembangkang dulu. Kami telah melontarkan banyak idea yang memangkin kepada percambahan pemikiran ya. Penawar juga cukup hebat. Bahkan mengatakan Dewan ini mempunyai pembangkang yang dedikasi dengan sikap terbilang. Jadi kalau nak jadi pembangkang yang profesional, janganlah teruskan dengan hujah 3R ini. Kalau mahu bolehlah terus biarkan mereka terus menjadi pembangkang selama-lamanya. Boleh tak? Di sini saya juga ingin melontar balik apa yang dikatakan oleh Semarang semasa pengakhiran perbahasannya. “Kamu boleh mempermainkan semua orang di sesetengah masa dan sesetengah orang dalam semua masa”. Jadi, inilah apa yang dilakukan oleh BN dahulu di mana BN telah dalam sesetengah masa telah mempermainkan semua orang, tetapi dalam semua masa, dan sesetengah orang dalam semua masa. Itulah semasa pembentangan BN dulu, tapi kamu tak boleh mempermainkan semua orang dalam semua masa, jadi inilah akibatnya BN kalah dalam PRU umum yang lepas. Jadi seolah-olah ya, apa ayat ini, apa yang dibawa oleh Semarang ini meludah ke atas langit, akhirnya terkena muka sendiri. Hari ini Semarang tak ada, kawan tepi boleh tolong sampaikan. (Dewan ketawa).

Jadi selain itu, Stulang juga ingin membawa isu yang berkaitan dengan kawal selia sempadan Malaysia-Singapura di CIQ. Walaupun isu ini melibatkan jabatan daripada agensi persekutuan, adalah penting juga Stulang membawa isu ini untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan Johor dalam menangani isu kesesakan Tambak Johor di samping memperketatkan keselamatan di sempadan. Pada persidangan yang lepas, Stulang telah mengemukakan keperluan penubuhan agensi tunggal di CIQ BSI dan CIQ Kesang sebagai kesinambungan.

Stulang ingin membawa isu berkenaan dengan penggunaan big data dan Artificial Intelligence dalam kawal selia sempadan. Ini merupakan satu trend yang kita tidak boleh ketinggalan, lebih-lebih lagi pada zaman industri 4.0 di mana analisa data memainkan peranan yang sangat penting dan mempunyai kemampuan yang cukup tinggi. Pagi ini Gambir juga ada menyentuh tentang kepentingan Aritificial Intelligent, dengan izin. Hanya melalui cara ini sempadan boleh dikawal dengan ketat di samping memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna. Pada masa ini untuk makluman Dewan yang mulia ini, syarikat pakar dalam algoritma big data dan AI telah mampu membangunkan perisian dan mesin yang mampu menewaskan juara dunia catur, poker, Chess go dan juga Dota 2 melalui teknologi-teknologi machine milling, dengan izin. Jadi di sini apakah, di sini saya, apakah artificial intelligent, AI ini merupakan satu bidang sains, komputer yang memberi penekanan terhadap pembinaan mesin pintar boleh bekerja atau bertindak balas seperti manusia. Komputer yang direka bentuk adalah untuk pembelajaran, perancangan dan penyelesaian masalah. Data analisis pula merupakan proses mengkaji set data demi menghasilkan konklusi kepada set data yang sedia ada dengan bantuan perisian dan sistem. Big data, big data pula merupakan set data yang amat besar di mana dia boleh di analisa untuk mengetahui paten, trend, kecenderungan yang berkaitan dengan interaksi atau human behaviour, dengan izin. Machine learning pula merupakan satu aplikasi AI di mana sistem tersebut mempunyai kemampuan untuk belajar secara automatik dan bertambah baik tanpa diprogramkan lagi. Machine Learning fokus kepada pembangunan perisian program yang menggunakan data untuk dipelajari sendiri. Jadi, sempadan Malaysia-Singapura merupakan pintu masuk utama di mana dijangka serami 250,000 orang menggunakan kedua-dua pintu masuk tersebut setiap hari. Pintu masuk tersebut merupakan satu sempadan yang paling sibuk di dunia. Berkenaan dengan aspek Big Data dan AI ini turut didukung oleh Perdana Menteri kita di mana pada bulan November yang lepas, di Jepun, Tun Mahathir juga mengatakan Malaysia akan mendapatkan bantuan dari Jepun untuk melabur dalam industri kecergasan bantuan AI, yang diyakini mampu membawa teknologi Malaysia ke tahap yang lebih maju.

Menteri, YB Gobind Singh juga mengatakan platform baru bagi pertukaran data di antara kerajaan dan industri adalah penting dan telah dicadangkan kepada Kabinet dan akan dicadangkan pada Kabinet pada awal suku pertama tahun hadapan. Platform tersebut bertujuan menyediakan data untuk kerajaan sambil menggalakkan industri untuk berkongsi maklumat. Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Imigresen pada bulan Ogos yang lalu juga mengatakan bahawa semua rakan sejawatnya yang mewakili setiap negara bertujuan dengan idea membangunkan satu portal bagi memudahkan perkongsian maklumat dan permohonan visa di setiap negara Asean kerana ia memudahkan mereka mengakses maklumat dan data-data setiap individu yang keluar masuk sesebuah negara. Jadi, idea itu merupakan idea asal yang kita ingin melihat setiap negara Asean bukan sahaja berkongsi data.

Jadi kalau antara negara boleh berkongsi data, maka kita tidak lihat mengapa setiap jabatan ini tidak boleh berkongsi data dengan berkesan.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan, memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan di bangunan CIQ, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna CIQ, memantapkan urusan pengutipan cukai import dan eksport, memastikan setiap data yang dikutip diaplikasikan dengan sebaiknya dan semaksima yang mungkin. Jadi untuk mengaplikasikan Big Data dan AI dalam kawal selia sempadan apakah cabaran kita? Cabaran kita adalah:

1. Penubuhan agensi tunggal di CIQ kerana ia merupakan kerangka asas aplikasi Big Data dan AI serta kerjasama antara jabatan.

2. Perkongsian data yang sedia ada antara setiap jabatan atau kementerian adalah minimum sekarang. Malah segala proses perkongsian dan pengemukaan data perlu melalui proses birokrasi yang agak rumit.

3. Data mentah ataupun raw data adalah berlainan struktur kerana matlamat awal pembangunan sistem yang berlainan. Ia juga sukar dicapai, sukar diproses apabila diperlukan. Malah cabaran adalah lagi tinggi sekiranya kita memerlukan data tersebut dalam bentuk realtime.

Jadi CIQ merupakan satu tempat yang amat sesuai dan perlu dalam aplikasi big Data kerana mengapa? Banyak data akan dikutip setiap masa, kerana ramai orang keluar masuk. Yang kedua, data yang dikutip adalah berkualiti kerana ia melalui sistem yang telah dikenal pasti oleh agensi lain sebelum ini. Jadi apa yang kita boleh capai kalau kawal selia sempadan dikawal dengan Big Data dan Artificial Inteligent ini.

Pertama, boleh meramalkan dengan tepat waktu puncak dan juga waktu ada ramai orang atau kenderaan. Dengan ini, tindak balas yang serta merta boleh diambil untuk menyerahkan perubahan tugasan. Selain itu kita juga boleh bersedia awal untuk menghadapi kemungkinan aliran orang yang ramai. Keputusan yang cepat pun boleh dibuat dan kita juga boleh meramal dengan baik di manakah perlu membuka kaunter yang maksimum. Kerana kita menggunakan teknologi AI yang mempunyai aspek predictive analytics iaitu ramalan dengan tepat.

Kedua, Untuk pengurusan dan pemantauan pegawai dalaman. Melalui set data yang ada setiap hari dan kajian maka amat mudahlah untuk kita mengetahui siapakah pegawai yang berkebolehan tinggi, siapakah yang cenderung untuk rasuah dan tidak berkesan, kita boleh kesan dengan baik. Apakah kombinasi pegawai yang paling sesuai dan optimum untuk sesuatu tugasan. Golongan mana yang paling sesuai untuk tugasan tertentu. Di manakah perlu penambahbaikan dan sebagainya dan melalui data konsisten yang ada sistem dan perkakasan yang akan mengalami kerosakan juga akan memberikan isyarat melalui kajian kelakuan ataupun behaviour study dengan ini tindakan awal pun boleh dilakukan.

Ketiga, kemudian untuk memantau ancaman terrorist dengan data cap jari yang kita ada, data muka dari facial recognization serta iris mata, pengecaman adalah lebih cepat, tepat tanpa mengorbankan aspek keselamatan. Kemudian dalam aspek ini mereka juga sukar untuk melepaskan diri walaupun kita perlu berdepan dengan ratusan ribu pengguna setiap hari. Data yang dikutip di CIQ juga boleh digunakan oleh agensi lain dalam menangani ancaman pengganas di lapangan terbang atau pun sempadan yang lain. Dan akhirnya kita juga boleh mengenal pasti kategori pengguna CIQ sama ada berisiko tinggi, sederhana atau rendah dengan senang. Ini juga boleh menambahkan kecekapan clearance kerana sistem telah memahami dengan jelas kategori pengguna dan boleh menyalurkan mereka ke laluan yang dikehendaki. Ini semua sangat penting.

Keempat, melalui penggunaan Big Data dan Artificial Inteligent kita boleh mengetahui behaviour atau kelakuan para pelancong juga. Kita boleh melalui rekod keluar masuk kereta, tempoh masa mereka berada di Malaysia. Kita boleh mengenal pasti dengan senang. Jadi jaringan perjalanan mereka juga boleh dikenal pasti melalui kamera di lebuh raya dan sebagainya. Jadi dengan inilah kerajaan dengan analisa AI yang ada, kita boleh menganalisa pattern pelancongan ke Malaysia dan kita boleh membuat dasar-dasar atau pun pelarasan-pelarasan yang dirasakan perlu.

Jadi, kesimpulannya pembentangan saya kali ini adalah menekankan keperluan untuk menggunakan Big Data dalam kawal selia sempadan dan di sini akhirnya saya juga ingin memberi satu contoh lagi

di mana European Union antara tahun 2016 dan 2020 akan mengeluarkan satu sistem Custom Electronic baru yang akan dibangunkan oleh Kesatuan Eropah yang berasaskan model dari War Custom Organisation dan dikenali sebagai Custon Data Model yang membolehkan penyelarasan data di sempadan antara negara di Kesatuan Eropah dan mempunyai struktur tiga peringkat dari peringkat kawasan ke peringkat negara. Ia dapat menghasilkan integrasi data yang baik antara kastam dan agensi-agensi di sempadan. Jadi inilah merupakan satu trend yang kita tidak boleh ketinggalan untuk perancangan jangka masa depan penggunaan Big Data, Artificial Inteligent, Data Analytics dan juga Machine Learning ini kita patut serapkan dalam kawal selia sempadan Malaysia-Singapura ini demi mengetatkan keselamatan dan juga memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna. Dengan ini saya menyokong juga usul yang dibawa oleh Tenang. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Kemelah, jemput.

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah mengucapkan ribuan terima kasih atas peluang terlibat dalam perbahasan atas rundingan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2019 tahun 2018. Yang Berhormat Puan Speaker, bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang ke-60 pada 22 November yang lalu, patik merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan sihat, memerintah Johor dengan adil dan saksama, negeri Johor terus makmur dan aman di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Kemelah mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Johor 2019 bertema Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari. Kemelah berterima kasih kepada pimpinan kerajaan Pakatan Harapan Johor yang berusaha menjadikan belanjawan kali ini lebih inklusif dan bertindak adil kepada semua pihak. Malah lebih daripada itu, Kemelah mengharapkan pada masa-masa mendatang Johor bukan hanya setakat terus makmur malah dapat memayungi rakyat bangsa Johor dan juga rakyat-rakyat daripada negeri lain. Apabila berlaku krisis ekonomi pada masa akan datang. Kita ambil kejayaan negeri Mesir di bawah pemerintahan Nabi Yusuf AS sebagai iktibar kepada kita. Asas kepada kejayaan negeri Mesir adalah seorang pentadbir negara, iaitu Nabi Yusuf AS, seorang yang dipanggil atau digelar Siddiq oleh raja sebelumnya, seorang yang begitu amanah dengan urus tadbir yang cekap, hingga mampu meningkat rizab negara dan kemampuan untuk membaca apa yang berlaku, yang bakal berlaku di masa akan datang. Forecasting the future dengan izin. Sebagaimana yang kita lihat digambarkan di dalam Al-Quran, apabila Nabi Yusuf menawarkan dirinya sebagai pengurus perbendaharaan hasil bumi Mesir, seterusnya di sebut (bacaan surah), “Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya,lagi mengetahui cara mentadbirnya”, Surah Yusuf, ayat 54. Kita lihat akibat daripada urus tadbir yang cekap dan juga kemampanan untuk melihat bakal apa yang berlaku di masa depan. Kita lihat rakyat-rakyat di sekeliling Mesir, bukan hanya di Mesir sahaja telah mendapat limpahan kurnia nikmat akibat daripada rizab yang berlebihan apabila berlaku kemelut di negeri Mesir.

Urus tadbir yang buruk bagi sesuatu negara hanya akan menyebabkan hutang negara meningkat dengan tinggi, dan yang melampau menyebabkan negara tidak mampu meneruskan aktiviti pembangunan dan membantu kesengsaraan rakyat ketika berlaku kemelut dan krisis negara. Sebagaimana yang kita lihat sekarang yang berlaku kepada negara kita, kita terpaksa berbelanja dengan berhemah.

Yang Berhormat Puan Speaker, walaupun terdapat suara-suara menyatakan pembentangan belanjawan yang di bawa kerajaan negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan tidak banyak beza dengan kerajaan sebelumnya, namun Kemelah yakin sistem penyampaian atau delivery system dengan izin, di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan jauh lebih baik daripada sebelumnya. Menurut Prinsip Pareto, lazimnya 20% input akan memberi impak atau menyumbang kepada 80% hasil keluaran. Dengan mengetegahkan teras kedua yakni mereformasi institusi pentadbiran dan politik, ketirisan dapat dielak. Transaksi dan aktiviti menjadi lebih telus, lalu meningkat penyampaian kepada golongan sasar. Pepatah Inggeris ada mengatakan Kota Rome tidak dibina dalam masa 1 hari, maka apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, kita mengharapkan bahawa bukan hanya setakat penyampaian tetapi yang lebih penting adalah meletakkan asas-asas yang baik supaya kerajaan dapat memberi perkhidmatan dan rakyat dapat merasakan akan nikmat pada negara tersebut.

Yang Berhormat Puan Speaker, melihat kepada Laporan Audit Negara tahun-tahun sebelum ini, Kemelah ingin menyarankan agar Unit Audit Dalam agensi kerajaan negeri diperkukuh. Dengan harapan dapat mengurangkan jika tidak menghapuskan pengurusan yang tidak cekap dan mengelak berlaku salah laku dalam urus tadbir. Sebagai contoh, di dalam Laporan Pengauditan Mengejut Jabatan Agensi Negeri Tahun 2017 Siri Pertama, bagi 9 agensi yang diaudit peratusan tidak kepatuhan terhadap 32 kawalan perbelanjaan adalah tinggi iaitu sebanyak 43.8%. Kita mengharapkan di dalam era baru maka kita dapat mengurangkan lagi akan ketidakcekapan dalam pengurusan negeri.

Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memaksudkan daerah Segamat di dalam kawalan di dalam Kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Kita mengorak ke depan berdasar realiti semasa. Apabila Kemelah melakukan ataupun melawat kawasan-kawasan di daerah Segamat khususnya di bandar kita dapati masih lagi banyak kedai-kedai yang tidak beroperasi ataupun tutup.

Sebelum ini apabila kita lihat daerah Segamat di bawah kerajaan lama mempunyai seorang Menteri Penuh, seorang Timbalan Menteri dan seorang EXCO Kanan tetapi kita lihat pembangunan daerah Segamat terpinggir. Usaha-usaha bersungguh perlu dilakukan bagi merancak ekonomi daerah Segamat. Justeru, saya menyeru supaya rakan-rakan saya daripada 5 ADUN Pakatan Harapan di daerah Segamat bersama dengan 3 Wakil Rakyat Parlimen berganding bahu agar kita dapat sama-sama membangun Segamat.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, menurut perangkaan 2017 pelaburan tempatan yang bernilai RM66.8 juta hanya mampu menghasil 35 peluang pekerjaan di Pelabuhan Darat Segamat, Segamat Inland Port dengan izin. Maka jumlah ini ataupun bilangan ini adalah terlalu kecil untuk memungkinkan anak-anak muda tinggal di Segamat.

Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas peruntukan RM1.0 juta bagi kos kajian perluasan dan mengenal pasti projek-projek baru berimpak tinggi di kawasan industri Segamat, daerah Segamat. Ucapan terima kasih Kemelah juga kepada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti atas berita gembira di dalam sesi dewan yang lepas pembinaan sebuah pencawang pembahagian utama PPU yang menelan belanja RM30 juta dengan jangkaan siap selama 24 bulan di daerah perindustrian Segamat. Ini telah lama di tunggu oleh warga Segamat untuk memastikan bahawa ekonomi Segamat dapat dibangunkan dengan baik. Kemelah berharap kajian yang bakal dilaksanakan berkaitan projek-projek berimpak tinggi juga meneliti impak terhadap alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

Yang Berhormat Puan Speaker, untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, baru-baru ini Jabatan Alam Sekitar Muar telah melakukan siasatan dan tindakan di bawah undang-undang telah diambil terhadap 5 kilang yang mencemar udara dan air di kawasan perindustrian Segamat 2. Penduduk sekitar kawasan sekitar perindustrian telah lama mengadu isu bau racun dan pencemaran udara yang berlaku di kawasan tersebut. Kita tidak mahu dalam kita membangun ekonomi negeri kerajaan negeri dan persekutuan terpaksa berbelanja berlebih dan tidak sepatutnya bagi merawat rakyat yang didedah dengan pelbagai pencemaran yang berlaku di negeri ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin mencadangkan agar industri hiliran berdasar produk mentah serta hasil tani dan ternak sedia ada di kawasan daerah Segamat dan sekitarnya dibangun. Ini sebagai menyambut saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam pembentangan Belanjawan berkaitan Fokus Industri Berteraskan 3H, Industri Teknologi Tinggi, Nilai Tambah Tinggi dan Industri Halal.Sebagai contoh, Segamat kenal dengan durian berkualiti tinggi. Namun, apabila terdapat lambakan durian harga durian menjadi rendah dan tidak memberi untung kepada pengusaha durian.Persoalannya, bolehkah kita menambah nilai melalui by product dengan izin durian, lempuk sebagai contoh begitu juga kulit durian yang kaya dengan minyak sari, plevenoit, saparin dan lain-lain sesuai untuk dijadikan ubat nyamuk.

Yang Berhormat Puan Speaker, walaupun kerajaan negeri berhasrat menjadikan daerah Segamat membangun berasas bidang pertanian dan industri asas tani serta hub pengeluaran lembu daging terbesar negara namun hasil daripada pemerhatian Kemelah mendapati tiada pusat latihan yang berkaitan di daerah Segamat, yang berkaitan dengan 2 industri yang disebut tadi. Oleh itu, Kemelah

ingin mencadang agar wujud institusi latihan dan pendidikan di kawasan-kawasan fokus industri-industri yang berkaitan.

Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah menyokong penubuhan Universiti Johor kerana sudah sampai masanya Johor mempunyai institusi pengajian tinggi mengikut acuan Johor. Universiti Johor tidak bermula daripada sifar sepertimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita akan menaiktaraf institusi-institusi pengajian yang sedia ada. Kita perlukan institusi pengajian tinggi mengikut acuan Johor yang mampu memacu ekonomi Johor melalui inovasi dan kajian tersendiri secara berterusan. Kita memerlukan satu institusi latihan yang dekat dengan wilayah-wilayah pembangunan sama ada di dalam wilayah selatan, tengah ataupun utara Johor. Kemelah yakin penaiktarafan institusi pengajian tinggi di Johor yang sedia ada tidak akan menjejas pengeluaran tenaga mahir dan separa mahir bagi keperluan Johor. Malah sebahagian daripada mereka perlu didedah dengan pemikiran yang lebih tinggi lagi iaitu pemikiran prinsip pertama atau first principal thinking dengan izin di dalam menyelesai masalah di negeri Johor. Kita berharap melalui Universiti Johor peluang untuk melahirkan lebih ramai graduan technopreneur, graduan yang bukan hanya memenuhi pasaran kerja malah untuk masa depan Johor yang lebih gemilang melahirkan garaduan yang boleh melihat peluang dan lebih daripada itu graduan yang mampu untuk mewujudkan peluang-peluang baru. Moga dengan wujudnya Universiti Johor akan dekat lagi usaha-usaha memartabatkan Bangsa Johor ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin mengakhiri ucapan perbahasan ini dengan memetik sebahagian daripada Gurindam Pasal Kelima daripada Gurindam 12 Raja Ali Haji. Sebagai peringatan kepada kita semua, jika hendak mengenal orang bangsa lihatlah kepada budi dan bahasa, jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia. Jika hendak mengenal orang berilmu bertanya dan belajarlah tiadalah jemu. Dengan itu Kemelah mengakhiri perbahasan ini Kemelah menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2019 Tahun 2018. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bentayan, jemput.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Selamat petang, salam sejahtera dan salam harapan Yang Berhormat Puan Speaker, jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi peluang kepada Bentayan untuk mengambil bahagian sebagai menyertai perbahasan Belanjawan Negeri Johor pada tahun 2019, yang telah berjaya dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis yang lepas di dalam Dewan yang mulia ini. Bentayan juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu.

Yang Berhormat Puan Speaker, sebagai Wakil Rakyat yang telah diberi mandat oleh rakyat segala isu yang dibangkitkan mahupun yang dicadangkan di dalam Dewan yang mulia ini adalah suara rakyat yang perlu dilaksanakan serta dipertimbangkan sebaik-baiknya. Walaupun kerajaan negeri mengamalkan pendekatan perbelanjaan secara berhemah disebabkan keadaan kerajaan negeri yang kini berdepan dengan ekonomi negara yang begitu mencabar dan kedudukan ekonomi antarabangsa yang tidak menentu.

Bentayan ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana membawa satu Belanjawan yang begitu seimbang dan inklusif tanpa mengabaikan kebajikan rakyat. Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan Johor di bawah pimpinan Pakatan Harapan telah pun melaksanakan ke semua janji-janji di dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya. Janji-janji itu juga bukan sekadar dibuat bagi meraih sokongan atau undi sebaiknya ia amat memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Johor. Penambahan insentif-insentif kepada golongan sasar perlu diperhalusikan lagi supaya ianya sedikit sebanyak dapat meringankan tanggungan kos sara hidup harian bagi golongan tersebut. Antara inisiatif-insiatif Pakatan Harapan yang popular adalah berkenaan air percuma sebanyak 10 meter padu dan Kad Sihat Johor yang mana pertanyaan berkenaan kedua-dua inisiatif ini adalah di antara pertanyaan yang paling banyak kami terima di Pejabat ADUN Bentayan. Ini disebabkan rakyat Johor dapat terus menikmati manfaat daripada kedua-dua inisiatif ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, di samping bantuan pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu bagi golongan sasar B40 yang telah dilaksanakan pada 1 September 2018, tempoh hari kerajaan negeri juga perlu mengambil perhatian penuh serta mengkaji dan menyemak semula kadar tarif air di

negeri ini. Memandangkan seperti yang kita sedia maklum kadar taraf air di negeri Johor ini adalah merupakan antara yang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Seperti sedia maklum,kadar tarif air di negeri Johor juga telah ditetapkan melalui pelan bisnes bagi tahun, bagi setiap 3 tahun yang dibuat oleh pihak SAJR dan ianya perlu mendapat kelulusan penuh daripada pihak Suruhanjaya Air Negara (SPAN). Pada masa ini, pelan penuh SAJR telah di lulus oleh pihak SPAN bagi tempoh operasi bermula tahun 2018 sehingga tahun 2020. Oleh itu, Bentayan ingin mencadangkan supaya kadar tarif air di negeri Johor disemak dan dikaji semula supaya kadar tarif air di negeri ini dapat dikurangkan menjadi lebih rendah dan seterusnya ia dapat memberi manfaat dan dapat mengurangkan kos sara hidup bagi seluruh rakyat di negeri Johor bukan hanya golongan B40 sahaja menikmati manfaat ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, bagi insentif Kad Sihat Johor pula setakat ini jumlah peserta yang layak menerima insentif Kad Sihat Johor di daerah Muar hanyalah seramai 300 lebih orang sahaja. Insentif ini hanya layak diterima oleh peserta e-kasih sahaja yang lahir atau menetap di negeri Johor. Dengan kelayakan pendapatan isi rumah yang telah ditetapkan berpandukan kira pendapatan garis kemiskinan PGK bulanan bagi setiap isi rumah ianya sebanyak RM240.00 per kapita bagi kawasan bandar dan RM200.00 perkapita bagi kawasan luar bandar. Manakala kiraan PGK bulanan bagi miskin tegar pula adalah sebanyak RM140.00 per kapita bagi kawasan bandar dan RM130.00 per kapita bagi kawasan luar bandar. Kerajaan persekutuan juga telah memutuskan bagi melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam pada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,100.00 sebulan berkuat kuasa pada 1 Januari 2019. Maka di sini Bentayan ingin menegaskan bahawa syarat kelayakan PGK agak rendah, maka perlu dikaji dan disemak semula agar setaraf dengan kenaikan kos sara hidup dan gaji semasa yang telah ditetapkan supaya keadaan pendapatan dan perbelanjaan sebenar bagi sesebuah isi rumah dapat digambarkan. Bentayan juga ingin menyambut baik kepada Belanjawan Negeri Johor 2019 yang telah memutus supaya Program Kad Sihat Johor diperluaskan kepada lebih ramai penerima golongan B40 pada tahun 2019.

Yang Berhormat Puan Speaker, disamping itu Bentayan ingin mengusulkan cadangan bagi menambah baik insentif, inisiatif yang boleh dikaji dan diperhaluskan lagi oleh kerajaan negeri kepada golongan sasaran B40 iaitu Programme Food Bank. Program sedemikian telah kami laksanakan di peringkat Parlimen Bakri merangkumi seluruh DUN Bentayan, DUN Simpang Jeram serta DUN Bukit Naning. Di mana penerima-penerima yang terpilih mengikut syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan diberi bantuan dengan kaedah pemberian baucar. Kaedah ini adalah berbeza dengan Programme Food Bank yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan di mana makanan akan diberi terus kepada penerima. Baucar tersebut boleh ditebus di pasar raya atau kedai-kedai yang terpilih dengan cara membeli barangan yang keperluan harian yang diperlukan oleh penerima tersebut setiap bulan. Antara kebaikan yang diterima melalui kaedah pemberian baucar tersebut adalah penerima boleh memilih atau membeli barangan yang diperlukan sahaja kerana setiap keluarga mempunyai jumlah bilangan ahli keluarga yang berlainan. Maka keperluan setiap keluarga juga berlainan sekali gus ianya dapat mengelakkan pembaziran yang kerap kali berlaku di rata-rata tempat melalui pemberian makanan dan barangan harian yang sama pada setiap bulan. Seterusnya, meletakkan syarat-syarat bagi menebuskan baucar tersebut bagi mengelakkan kejadian salah guna baucar yang diterima. Misalnya rokok dan minuman adalah tidak dibenarkan.

Yang Berhormat Puan Speaker, isu tempat letak kereta banjir kilat dan kemudahan fasiliti di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Bentayan ingin membangkitkan semula berapa perkara yang telah pun diusulkan pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang lalu. Antaranya berkenaan isu kekurangan tempat letak kereta serta isu banjir kilat yang sering berlaku di Hospital Pakar Sultanah Hospital, HPSF. Berdasarkan statistik yang diperolehi pada tahun 2017, dianggarkan jumlah pelawat yang hadir ke HPSF adalah seramai 571,224 orang. Anggaran ini adalah berdasarkan pengiraan jumlah kehadiran bagi pesakit Klinik Pakar, pesakit Jabatan Kecemasan dan bilangan Pesakit Dalam dengan diiringi oleh seorang pelawat sahaja. Manakala jumlah bilangan tempat letak kereta yang sedia ada di HPSF adalah sebanyak 580 petak yang mana dia termasuk tempat letak kereta bagi ketua jabatan, pakar yang bertugas atas panggilan, ianya sebanyak 93 petak. Manakala tempat letak kereta khas bagi Institusi Latihan Kejururawatan pula sebanyak 29 petak. Seterusnya baki sebanyak 487 petak itu pula adalah sebagai kegunaan bersama bagi seluruh warga staff HPSF dengan orang awam. Setelah penelitian berserta pengiraan dilakukan berdasarkan statistik, jumlah kehadiran pelawat yang dianggarkan pada tahun 2017, didapati seramai 1,586 orang pelawat yang hadir setiap hari. Jika anggaran secara purata bagi tempat letak kereta yang diguna pakai oleh kakitangan HPSF adalah sebanyak 200 petak. Kami mendapati jumlah kekurangan tempat letak kereta adalah sebanyak 1,299 petak.

Yang Berhormat Puan Speaker, perkara sedemikian perlu diambil serius di samping isu berkenaan banjir kilat yang sering berlaku di HPSF ini juga menambahkan lagi kesukaran dan kebimbangan kepada para pelawat serta kakitangan HPSF. Sebagai cadangan, pihak kerajaan perlu membinakan tempat letak kereta bertingkat di HPSF memandangkan ketiadaan, ketiadaan ruangan tanah yang dihadapi di HPSF sekali gus nya ianya dapat mengurangkan kebimbangan serta kerisauan para pelawat yang hadir ke hospital.

Yang Berhormat Puan Speaker, turut bersama Bentayan ingin mengambil kesempatan untuk menyentuh isu berkenaan kekurangan serta kerosakan bagi kemudahan fasiliti yang telah dikenal pasti di hospital HPSF termasuk di bahagian Jabatan Kecemasan, Klinik Pakar, wad-wad serta bahagian yang berkenaan. Merangkumi seluruh ruang menunggu pesakit yang telah dinyatakan berada di dalam keadaan yang tidak memuaskan sehingganya ada sesetengah pelawat yang hadir terpaksa berdiri sekian lama untuk menunggu disebabkan faktor kekurangan kerusi di ruang menunggu. Selain itu, antara kerosakan yang dialami adalah seperti kerosakan katil-katil di setiap wad. Kelengkapan serta peralatan-peralatan bagi tujuan perubatan dan beberapa kemudahan lain yang telah dikenal pasti. Pihak kerajaan pula juga perlu membelikan, memberi perhatian berkenaan isu kekurangan katil pesakit di setiap wad-wad di HPSF. Berdasarkan statistik yang kami terima bagi tahun 2017, jumlah keseluruhan katil-katil pesakit yang ada di wad-wad HPSF adalah sebanyak 550 buah katil sahaja. Manakala jumlah kemasukan pesakit ke wad dianggarkan seramai 42,564 orang pesakit bagi tahun 2017. Berdasarkan statistik yang diterima, jumlah penduduk yang ada di daerah Muar bagi tahun 2010 adalah seramai 259,349 orang, manakala jumlah statistik penduduk bagi tahun 2018 pula adalah seramai 280,500 orang. Ini menunjukkan populasi penduduk di daerah Muar telah bertambah sebanyak 80% dalam 8 tahun. Soalan Bentayan ialah adakah relevan dengan jumlah 550 buah katil pesakit yang sedia ada di HPSF ini diguna oleh 280,500 orang penduduk di daerah Muar. Sememangnya ia tidak mencukupi untuk menanggung kehadiran pesakit yang ada di daerah Muar menjelang hari.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan ingin mengucapkan terima kasih atas peruntukan yang akan diberi dalam Belanjawan 2019 untuk menaik taraf Kompleks Rawatan Harian HPSF tetapi Bentayan masih ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan negeri supaya HPSF ini di naik taraf serta kemudahan fasiliti-fasiliti di HPSF ini ditambah baik dengan tambahan peruntukan bagi jangka masa pendek. Manakala cadangan bagi jangka masa panjang pula adalah dengan membina hospital baru di lokasi yang bersesuaian pula diperhalusi pihak kerajaan supaya ianya dapat menampung jumlah kehadiran pesakit yang semakin bertambah saban hari. Salah satu lagi pilihan yang boleh dipertimbangkan adalah seperti yang dicadangkan oleh ADUN Tangkak bahawa menaik taraf kepada Hospital Tangkak yang sedia ada ini supaya ia dapat menambahkan kapasiti perkhidmatan hospital untuk kedua-dua daerah ini.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan juga ingin membangkitkan semula isu berkenaan banjir kilat yang masih lagi tidak selesai di beberapa kawasan di bawah pemantauan DUN Bentayan yang telah dikenal pasti iaitu di kawasan Jalan Datuk Haji Hassan, Taman Bakariah, jalan di Jalan Bakariah, Taman Ria di Jalan Salleh, Lorong Batik di Jalan Salleh, Lorong Samad di Jalan Lama dan beberapa lagi di kawasan lain yang telah dikenal pasti. Isu banjir kilat ini masih lagi berlaku walau pun keadaan saliran parit atau longkang.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat tinggal 2 minit.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Di beberapa kawasan yang telah dinyatakan telah pun di naik taraf oleh pihak yang berkenaan. Aduan demi aduan berkenaan banjir kilat ini masih sering kami terima saban hari.

Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan menyeru agar pihak kerajaan memandang serius perkara ini seterusnya mengambil inisiatif yang sewajarnya bagi menyelesaikan isu banjir kilat yang sering berlaku di kawasan-kawasan seperti yang telah dinyatakan tadi. Cadangan menaik taraf sistem saliran air, longkang, parit ini juga bukan sahaja perlu dilakukan dengan menaik taraf longkang atau parit yang berada di bawah pantauan PBT malah sistem saliran air di bawah pantau jabatan-jabatan lain juga perlu diambil kira dan dilakukan. Di sebab itu, Bentayan memohon agar pihak kerajaan dapat menyelesaikan permasalah ini secara total agar pembaziran serta konsep buat kerja dua kali ini dapat diletakkan, dielakkan seterusnya dapat menyelesaikan isu berkenaan banjir kilat tersebut. Yang Berhormat..

Timbalan Speaker

Sila gulung..

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Puan Speaker, akhir kata dari Bentayan berharap agar kerajaan Pakatan Harapan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cemerlang melalui tadbir urus yang baik serta telus kerana ianya mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran seterusnya membawa kebaikan kepada semua pihak. Bentayan juga berharap agar kesemua inisiatif yang telah dibentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Persidangan Belanjawan 2019 bagi negeri Johor ini dapat dilaksana dengan baik dan berhemah sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri Johor. Yang Berhormat Puan Speaker,

Timbalan Speaker

Masa sudah tamat.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Bentayan menyokong Belanjawan 2019. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Johor Lama.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Speaker, Johor Lama dengan rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan sempena sidang Pembentangan Belanjawan Johor 2019 di Dewan yang mulia ini. Turut mewakili seluruh rakyat DUN Johor Lama mengambil kesempatan di sini bagi melafazkan rasa junjung kasih serta merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas limpah kurnia serta rahmat Allah SWT kepada baginda terus dilanjutkan usia dan selamat meraikan ulang tahun kelahiran baginda baru-baru ini. Mewakili seluruh rakyat bangsa Johor dari DUN Johor Lama, khususnya penduduk FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi, turut juga mengambil peluang ini untuk menyampaikan salam Ta’zim dan terima kasih di atas perkenan Tuanku Sultan mencemar duli berangkat singgah menemui rakyat jelata di program Kembara Mahkota ke-21 pada 26 November yang lalu. Tidak lupa juga Johor Lama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Osman Sapian di atas pengurniaan darjah kebesaran Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Paduka Mahkota Johor sempena Hari Ulang Tahun Baginda pada 22 November yang lalu. Tahniah sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat kerana dapat menyediakan satu pelan pembangunan mampan Johor 2019-2030 ke arah Johor sebagai negeri berprestasi tinggi, Bangsa Johor Bestari yang akan diterjemahkan melalui Belanjawan Johor 2019 di samping buat pertama kalinya pembentangan ini di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat. Yang Berhormat Speaker, saya akan membentangkan ucapan saya kepada 2 fasa. Yang pertama, menyokong belanjawan untuk keselesaan rakyat, yang kedua, saya nak menyentuh sikit tentang pembangkang. Dalam memperjuangkan nasib dan perkhidmatan yang cemerlang, demi semua rakyat bangsa Johor khasnya di N37, DUN Johor Lama, Johor Lama berharap belanjawan kali ini akan membawa manfaat kepada mereka walaupun tiada projek-projek besar dan khas tersenarai dalam DUN ini. Namun, Johor Lama yakin dalam 8 teras utama Belanjawan Johor, sebagaimana yang diunjurkan itu, pastinya kerajaan negeri sedia menimbangkan beberapa isu dan masalah kami yang sememangnya datang dari suara rakyat di kawasan Johor Lama. Sesuai dengan falsafah kerajaan negeri yang sentiasa mengambil kira setiap maklum balas dari rakyat untuk rakyat dan demi rakyat. Yang Berhormat Speaker, untuk merealisasikan program kerajaan agar senada dan sedalam menyelami hati nurani serta kebajikan rakyat kawasan ini, Johor Lama mohon kerajaan menimbangkan pembinaan jalan berturap dari FELDA Air Tawar 2 ke Kampung Johor Lama di mana kos berjumlah RM35 juta yang telah diluluskan pada masa dahulu tapi tak berjalan-jalan sehingga pada hari ini. Dan harap pembinaannya diteruskan semula. Apabila prasarana dan jalan perhubungan menjadi lebih kondusif pastinya limpahan dan penjanaan ekonomi dan sosial bertambah rancak serta menjadikan hasrat kerajaan memajukan bangsa Johor khususnya masyarakat di luar bandar mudah terlaksana. Begitu juga dengan mendapat jolokan jalan maut dengan izin Yang Berhormat Speaker, jalan dari Simpang Makam Kampung Makam hingga persimpangan ke Bandar Penawar, Sungai Rengit adalah kurang selamat. Banyak kerosakan serta sempit kepada para pengguna jalan raya di situ. Boleh dikatakan pada saban bulan ada sahaja kemalangan berlaku sama ada kemalangan kecil ataupun maut. Manakala statistik kemalangan jalan raya yang diperolehi dari bahagian trafik IPD Kota Tinggi, dari Januari hingga November 2018, mencatatkan 450 kes kemalangan dan 18 daripadanya adalah kemalangan maut di sepanjang laluan dari Kota Tinggi ke Desaru tersebut. Manakala laluan by pass pula berlaku 500 kes dengan turut

meragut 18 nyawa. Statistik berkenaan menggambarkan betapa seriusnya situasi jalan berkenaan dan kita perlu memberi perhatian agar kemalangan boleh dikurangkan. Johor Lama berpendapat walaupun peruntukan telah diluluskan kepada Jabatan Kerja Raya untuk baik pulih jalan berkenaan, namun ianya tidak seimbang dengan pembangunan besar-besaran di kawasan Pengerang berbanding Kota Tinggi. Jalan raya perhubungan demi menjana kemajuan Pengerang masih perlu melalui jalan ini. Walaupun tersedia lebuh raya Senai-Desaru, lori yang sarat muatan ditambah dengan urusan pengangkutan pengeluaran hasil sawit di kawasan FELDA sedia ada menjadikan seolah-olah jalan ini sebagai medan tempur menggadai maut. Sehubungan itu amat wajar jika jalan dari Simpang Kampung Makam hingga ke Bandar Penawar ini di tingkatkan dan di lebarkan sejajar dengan aliran trafik masa kini. Seperkara lagi berkaitan kemudahan jalan raya di Johor Lama, amat prihatin tentang masalah penggunaan di laluan Johor ke Pusat Bandar Kota Tinggi dan by pass Johor Bahru-Kota Tinggi-Mersing. Kini apabila cuti umum dan perayaan, aliran trafik di situ menjadi sesak malah kerap terjadi kemalangan yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, cadangan menaik taraf dari satu lorong sedia ada kepada empat lorong yang akan diluluskan amat dialu-alukan demi mewujudkan satu aliran pemanduan yang selamat dan selesa malah nanti turut berupaya menggamit orang luar terus berkunjung ke Pusat Bandar Kota Tinggi Bersejarah. Yang Berhormat Speaker, Johor Lama memang merasai rintihan penduduk dengan melalui semua perhubungan jalan raya bagi menemui mereka setiap hari. Oleh itu, berdasarkan pengalaman sendiri, jalan-jalan yang telah diutarakan tadi turut sama perlu diberi perhatian. Permukaan jalan yang berlubang sempit dan boleh mendatangkan musibah kepada pengguna meliputi jalan-jalan Simpang Makam ke Mawai dan Simpang Waha ke Simpang Lok Heng. Jawapan soalan lisan Johor Lama berhubung jalan-jalan berkaitan di jawab oleh Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, Johor Lama mengucapkan terima kasih namun sesungguhnya dengan rasa kasih sayang kepada penduduk di laluan jalan 99 terbabit Johor Lama mohon masalah tersebut terus diberi perhatian serta tindakan proaktif daripada pihak kerajaan. Yang Berhormat Speaker, kita menyedari betapa pentingnya air dalam kehidupan. Oleh itu, demi keperluan isi rumah seramai hampir 12,000 orang di Gugusan Lok Heng dan Waha Johor Lama mohon inisiatif dan perhatian utama daripada kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembinaan empangan bagi keperluan tadahan air yang mencukupi. Malah turut sebagai langkah mengimbangi penambahan pengguna air bersih akibat peningkatan isi rumah di kawasan berkenaan. Dalam menikmati rahmat Ilahi, apabila hujan menyirami bumi, tidak begitu kepada penduduk di Gugusan Lok Heng dan Waha. Mendung berarak yang diharap membawa hujan, bagai dialih angin turunnya ke tempat lain. Akibatnya loji tadahan air SAJ Lok Heng kontang ketiadaan air untuk di proses. Walaupun ketika ini usaha-usaha dari SAJ, BAKAJ dan JPS terus relatif bagi mengatasi isu bekalan air bersih kepada penduduk di situ termasuk hantaran bekalan air melalui lori tangki SAJ dan pembinaan 3 telaga tiub bernilai lebih RM300,000.00 yang baru siap, semua itu hanya bersifat sementara dan berupaya mengatasinya dalam jangka waktu pendek sahaja. Ianya belum menjamin bekalan yang mencukupi dan masih perlukan usaha jangka panjang. Iaitu dengan kerajaan menyegerakan pembinaan empangan di loji air Lok Heng tersebut. Yang Berhormat Speaker, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, bagai sudah jatuh di timpa tangga pula. Selain isu air tadi, penduduk Gugusan Lok Heng dan Waha terus dihambat pula dengan isu tapak pembuangan sampah di kawasan mereka. Tapak pelupusan sampah KEJORA seluas 180 ekar dengan menelan belanja berjuta-juta ringgit yang di cadang beroperasi, amat berhampiran dengan kediaman mereka. Hanya hampir jarak 2 kilometer dari kawasan perumahan penduduk. Sampah sarap dan sisa buangan seluruh Kota Tinggi, Pengerang dan Bandar Tenggara yang terkandung bahan-bahan toksik dan kimia selain nanti meningkatkan habitat seperti tikus, lalat dan lainnya telah dicadangkan dilupuskan di situ. Oleh itu, Johor Lama mewakili seluruh penduduk terbabit mohon timbang tara serta budi bicara kerajaan Johor yang prihatin dengan suara rakyat dari rakyat kepada rakyat maka cadangan tapak pelupusan sampah berkenaan perlulah dibatalkan. Bantahan ini bukan bermakna kami menolak pembangunan, tetapi diharap penyelesaian isu sampah oleh pihak KEJORA perlu mengambil kira faktor sekeliling dalam melestarikan kehidupan masyarakat yang ceria, harmoni dan persekitaran hijau yang bebas dari unsur pencemaran, bau, kimia dan sebagainya. Sekali lagi Johor Lama melalui Dewan yang mulia ini mohon bantahan penduduk itu diambil perhatian oleh pihak yang terbabit. Yang Berhormat Speaker, memang tidak semua hasrat dan kehendak rakyat dapat dipenuhi seperti mitos gosokan lampu ajaib Aladdin. Namun, pertimbangan dan memperjuangkan permohonan rakyat

masih tergenggam di tangan dan terpikul di bahu para Wakil Rakyat. Oleh yang demikian, pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang semakin terkesan di hati rakyat tentunya masih ada ruang untuk memberi kelulusan dan pengurniaan tanah bagi tapak rumah generasi kedua FELDA dan begitu juga di kampung-kampung tradisional yang mana wujudnya tanah-tanah rizab kosong dan telah dipohon oleh mereka berbelas malah puluhan tahun dahulu. Sudah menjadi budaya setiap pasangan mahu rumah kediaman sendiri. Malah mereka sedaya mungkin ingin berdekatan dengan rumah ibu bapa dan sanak saudara masing-masing. Sehubungan dengan itu, Johor Lama ingin memohon pertimbangan kerajaan negeri serta FELDA, agar segera mengurniakan agihan tapak kediaman yang dipohon oleh 45 pemohon asal dari Kampung Sungai Sembilang, 41 pemohon generasi kedua FELDA Pasak di tapak bekas rumah FELDA Pasak dan sebilangan besar generasi kedua di Gugusan FELDA Lok Heng. Begitu juga selanjutnya agar proses penyerahan hak milik tanah kepada para peneroka yang masih belum disempurnakan di Gugusan Lok Heng dapat diselesaikan dengan segera. Yang Berhormat Puan Speaker, pada awalnya saya tidak berhajat untuk menyentuh mana-mana pihak di dalam Dewan yang mulia ini. Tetapi oleh kerana Yang Berhormat Benut telah menyentuh peribadi, keberadaan saya di dalam Dewan ini, saya terpaksa bercakap sikit. Pertamanya Yang Berhormat Speaker, Johor Lama nak mengucapkan tahniah kepada Pengurus Besar FELDA yang telah mengambil tindakan yang sewajarnya sebagai penjawat awam dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada seorang pengurus yang gagal kerana mengadakan satu program politik di bawah jagaan beliau. Sebenarnya perkara ini tidak perlu berlaku Yang Berhormat Speaker, kerana Ketua Bahagian tersebut telah berjumpa dengan pengurus dan berjanji tidak akan buat di tempat tersebut di dewan JKKR. Tetapi kenapa mereka berbohong? Selepas mereka kata dia tak buat, tapi tiba-tiba dia buat di dewan yang mempunyai standard sebagai kapasiti bangunan premis kerajaan. Perkara ini bukan baru ini berlaku, Yang Berhormat Speaker. Benda ini, peraturan ini dah berlaku begitu lama. Saya juga dulu sebagai pentadbir kerajaan saya berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah sebagai pegawai kerajaan. Saya juga memastikan tidak ada program-program politik di bangunan-bangunan sekolah. Benda ini dah berlaku dan pegawai kerajaan yang hari ini jalankan tugas bukan kerana dia didesakkan oleh mana-mana pihak untuk menghalang, tidak tetapi dia menjalankan tanggung jawab dia tak ada orang yang mendesak dia. Kalau kita baca whatsapp Yang Berhormat Benut baca, tak ada perkataan yang dia didesak oleh mana-mana pihak. Tapi, Yang Berhormat Speaker, kita kesian kepada penjawat awam ini kerana tipu helah mereka ni, telah menjejaskan periuk nasi seorang penjawat awam, Yang Berhormat Speaker. Saya minta Yang Berhormat Benut bertanggung jawab ke atas pegawai kerajaan ini. Yang Berhormat Speaker, sepatutnya Yang Berhormat Benut tak perlu nak masuk Johor Lama khasnya kawasan saya di FELDA Lok Heng Barat. Betul kata Yang Berhormat Sedili, masa jadi EXCO dulu, tak pernah pun masuk kawasan FELDA. Tapi kali ini tiba-tiba berminat sangat untuk masuk kawasan FELDA. Kenapa pula ni, Yang Berhormat Puan Speaker? Baiklah, saya ingatkan Yang Berhormat DUN Benut ni. Jaga aje sendiri kawasan Pontian dengan mana, Benut, sebab kalau kita kacau tempat orang Yang Berhormat Speaker, takut kawasan tu kekal lagi dengan Ahli Parlimen yang ada ni, Ahmad Maslan dia kekal lagi kat situ sebab Yang Berhormat Ahmad Maslan ni dia jaga kawasan lebih baik, saya dapat laporan, Yang Berhormat Speaker.

Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Benut, Johor Lama tak pernah tinggalkan perjuangan, tak pernah buka topeng, tak pernah nak menipu sesiapa, pengundi saya dah faham apa yang saya buat, sebab apa Yang Berhormat Benut jumpa hari tu di Lok Heng dia bukan jumpa pengundi, dia hanya jumpa Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Bahagian UMNO memang tak suka saya. Jadi, dia ceritalah macam-macam tentang saya. Tapi kalau Yang Berhormat Benut buka facebook saya, Yang Berhormat Benut boleh tengok apa yang saya buat selama 6 bulan. Saya tak pernah tinggalkan pengundi saya, saban hari, saban masa saya sentiasa bersama dengan mereka. Saya rasa prestasi saya lebih baik daripada Wakil Rakyat yang lama di kawasan tersebut khasnya Wakil Rakyat Johor Lama.

Timbalan Speaker

Sila gulung.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Sebagai Wakil Rakyat, saya minta Yang Berhormat Benut dengar sikit apa ni, fakta yang saya nak sebut. Jumlah pengundi Johor Lama 25,221, jumlah pengundi Johor Lama. Jumlah ahli UMNO hanya 8,289. Bermakna terdapat 16,932 pengundi yang tak berparti kepada UMNO, 16,000 lebih dan saya mendapat undi 12,532. Bermakna yang undi saya bukan semuanya daripada pengundi UMNO. Ramai lagi rakan-rakan saya, saudara mara saya, kawan sekolah saya sebab saya tinggal di situ, saya berkahwin di Kota Tinggi. Tempat rumah saya di

dalam kawasan DUN Johor Lama, saya tak risau. Sebab itu pengundi ini tuan-tuan, Yang Berhormat Dato’ Speaker, merupakan rakan baik saya, sahabat saya daripada pelbagai parti ada yang kawan saya dari Parti DAP, kawan satu sekolah, kawan sekolah saya, ada yang anak murid saya daripada PKR. Jadi, tak mustahil kalau Yang Berhormat Benut baca di sini mustahil pengundi di Kota Tinggi rasa kecewa dengan saya. Sebab saya dah buat tinjauan dan kajian merekalah yang minta saya supaya meneruskan pembelaan kepada rakyat, kerana dah selama ini mereka duduk dalam kerajaan dan mereka selesa. Jadi, mereka bila berada dalam keadaan pembangkang Yang Berhormat Speaker, mereka tidak boleh terima keadaan ini. Jadi sebab itu saya bertiga, Yang Berhormat Speaker terpaksa buat apa yang saya patut buat. Sikit lagi Yang Berhormat Speaker. Saya nak cakap pasal pembangkang ni tadi, Yang Berhormat Speaker, pembangkang kata tadi Yang Berhormat Speaker, nak jadi seorang pembangkang yang baik, yang hebat, yang profesional dan sebagainya, Yang Berhormat Speaker, tapi hari ni tuan-tuan Yang Berhormat tengoklah berapa orang yang tinggal dalam Dewan pada hari ini Yang Berhormat Speaker, saya kira…

Timbalan Speaker

Jangan tunjuk.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Tak tunjuk, ok . Saya tak tunjuk, saya pakai mulut aje, 1, 2, 3, 4 ada lebih 13 orang yang tak ada dalam Dewan ini, Yang Berhormat Speaker, macam mana dia nak membahaskan, nak dengar perkara yang baik untuk rakyat. Kalau cakap tak serupa bikin patutnya Wakil Rakyat Pembangkang, Wakil Rakyat Kerajaan ni boleh rehat-rehat kat luar, duduk minum air patutnya, kita pula yang fikir berat masalah rakyat tapi di kalangan pembangkang yang bercakap semalam dengan begitu bermadah, beraura, bersajak, menunjukkan kehebatan tapi kosong isinya, asyik-asyik ulang 3R, 3R, 3R,3R,Yang Berhormat Speaker…

Timbalan Speaker

Jadi, boleh tamatkanlah.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Yang Berhormat, apa Yang Berhormat tahu tentang 3R ni. R yang pertama Razman, R yang kedua Rosleli, R yang ketiga Rawiyah. 3R Yang Berhormat pusing-pusing cerita itu aje tiada isi. Patut nak jadi pembangkang yang baik, kita bercakap tapi kita cadangkan macam Wakil Rakyat Yang Berhormat.

Timbalan Speaker

Sudah lupa tak apalah, sila boleh tamatkan. Yang Berhormat boleh duduk, sila duduk.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Dia, mencadangkan dia cadangkan itu bagus macam Machap, Tanjung Surat dia mencadangkan itu perkara yang bagus itulah jadi pembangkang. Tapi kalau hanya nak membangkang, menghentam kerajaan tapi langsung tak keluarkan idea, saya rasa tak perlulah kita nak berhujah macam-macam. Jadi, akhir kata Yang Berhormat Speaker...

Timbalan Speaker

Masa dah tamat, tiada masa lagi Yang Berhormat.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Untuk FELDA.

Timbalan Speaker

Dah, dah cukup, cukup.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Saya anak peneroka FELDA kenapa isu FELDA ni, kita nak salahkan kerajaan pada hari ini, ke mana duit yang RM8 bilion pergi Yang Berhormat Speaker. Bapa saya, mak saya menangis kat rumah sebagai peneroka ni, kenapa nasib dia tak dibela kenapa Pengerusi FELDA yang lepas yang dah diheret ke SPRM dilepaskan, tak diteruskan tuduhan. Saya mengharapkan Dewan pada hari ini tolonglah sampaikan kepada pihak SPRM kalau ada pihak-pihak yang mencuri, merompak duit FELDA, duit bapak saya ni pulangkanlah balik. Kesian mereka kat FELDA ni tuan-tuan, Yang Berhormat hari ni baru sibuk nak cakap soal memperjuangkan nasib peneroka FELDA tak payah Yang Berhormat Puan Speaker.

Timbalan Speaker

Ya. Sila duduk Yang Berhormat. Masa sudah tak ada.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Akhir kata, sehebat mana pun kita kejar sesuatu kalau dia bukan takdir kita tetap tak akan jadi milik kita. Sekuat mana pula kita lari dari sesuatu, kalau dah memang takdir kita, ia tetap datang kepada kita. Yang Berhormat last sekali, last, satu aje. Saya nak tunjuk ni Puan Speaker.

Timbalan Speaker

Sila duduk, sila duduk, masa sudah tamat.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Satu aje, satu minit saja. Ini Puan Speaker, kalau nak kata Ketua Pembangkang tadi kata saya ni nak melompat parti, sebenarnya Ketua Pembangkang ni Yang Berhormat dia dah merancang lama dah ni tulisan tangan dia, Yang Berhormat Puan Speaker, ni tulisan tangan dia ni kat buku saya ni, dia ada campur-campur ni parti, UMNO campur Bebas 3..

Timbalan Speaker

Jangan sentuh hal peribadi, jadi Yang Berhormat boleh tamat. Sila duduk.

Tuan Haji Rosleli bin JahariUMNO · BNJohor Lama

Ok, Yang Berhormat, saya ingin menyokong ucapan dasar yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Permas, jemput.

Terima kasih Puan Speaker, terima kasih Johor Lama. Bismillahirahmannirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam harapan.

Yang Berhormat Puan Speaker, alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Bersyukur Permas ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya Permas berada di sini. Dalam kesempatan ini, sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertua Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang ke-60 tahun, patik mewakili rakyat DUN Permas merafak sembah dan menjunjung kasih dan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sihat sejahtera untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan Negeri Johor 2019, adalah belanjawan bukan sahaja melakar sejarah sebagai Belanjawan Pakatan Harapan Johor bahkan pembentangan ia juga mencatat sejarah sebagai belanjawan paling lama dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini. Akan tetapi Yang Berhormat Puan Speaker, Permas memberi keyakinan penuh kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Permas yakin belanjawan kali pertama Pakatan Harapan Johor akan membawa satu perubahan yang tepat disasarkan kepada rintihan rakyat yang ingin menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera.

Menerajui perubahan dan menggalas harapan bangsa Johor Bestari adalah fokus belanjawan kali ini. Dengan tepat kepada isu dan permasalahan rakyat satu jalan kerja yang akan menjadi rantaian, penyelesaian kepada banyak isu-isu yang menjadi asas kepada kesejahteraan kehidupan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Puan Speaker, Permas dari lubuk hati ini sangatlah berterima kasih dengan kepimpinan kerajaan negeri dan pusat. Permas bersyukur kepada Allah SWT kerana impian Pasir Gudang untuk mempunyai sebuah hospital akan direalisasikan tidak lama lagi melalui belanjawan kali ini seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam mukadimah ucapan.

Yang Berhormat Puan Speaker, dalam Belanjawan Johor 2019, menjamin kesejahteraan rakyat menjadi teras pertama sebagai pemacu rangka strategi pembangunan belanjawan kali ini. Permas yakin dengan memberikan fokus yang lebih kepada isu rumah, perumahan ini akan mendorongkan lebih banyak lagi pembinaan rumah mampu biaya kepada masa yang mendatang ini. Sudah tiba masanya Johor memberikan ruang kepada pembinaan rumah yang mampu untuk diberikan rakyat memiliki bukan hanya melihat keindahan, kecantikan serta kecanggihan rumah-rumah yang berstatus elit. Tetapi tidak mampu untuk rakyat miliki. Pemaju-pemaju di Johor seharusnya bersama dengan kerajaan negeri Johor untuk membantu rakyat memiliki rumah dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Yang Berhormat Puan Speaker, apabila satu-satu penempatan yang baru dibina satu komuniti baru bukan sahaja melibatkan rakyat semata-mata. Satu penempatan memerlukan perancangan yang baik untuk menjadikan satu pembangunan penempatan itu dilabel sebagai penempatan yang lestari. Kota Masai merupakan antara penempatan atau taman yang besar di Pasir Gudang. Kota Masai mempunyai kepadatan penduduk dianggarkan 100,000 orang.

Yang Berhormat Puan Speaker, bayangkanlah 1,000 orang dalam satu penempatan ini tidak termasuk yang tidak berdaftar, 1,000 orang ini diberikan kepada hanya lebih kurang 30 anggota polis yang bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan mereka. Bayangkan ini bermakna seorang anggota polis dinisbahkan kepada seribu orang awam, bukanlah betapa sukarnya tugas seseorang anggota polis di kawasan Kota Masai, Pasir Gudang. Lebih mudah jika Permas mengatakan di Kota Masai sahaja anggota polis tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik. Sudah tentu dengan kekurangan anggota polis ini akan memberikan kesan kadar jenayah, kadar gejala dadah dan sosial serta lain-lain lagi. Masalah kriminil penduduk sudah tentu dibelenggu dengan isu keselamatan. Dengan ini keamanan di mana penduduk akan beranggapan bahawa pihak polis tidak membantu mereka berhadapan dengan keadaan yang mengancam keselamatan harta benda serta nyawa mereka. Oleh kerana ini, Yang Berhormat Puan Speaker, isu keselamatan tidak boleh kita bergantung kepada anggota polis keselamatan semata-mata. Pendekatan Permas sangat mudah, sementara menunggu anggota keselamatan ditambah atau mencukupi untuk menjaga keamanan dan menjaga keselamatan, Permas harus memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang boleh menjadi nilai tambah untuk membantu meningkatkan keselamatan dan keamanan. Lampu isyarat adalah pengganti kepada anggota keselamatan. Simpang Taman Scientex ke Cahaya Baru, sudah berkali-kali saya bawa ke hadapan untuk dipasangkan satu lampu isyarat tetapi masih sampai sekarang tidak suatu simpang di jalan ini sudah berlaku kadar kemalangan yang tinggi. Lebih-lebih lagi kemalangan yang melibatkan maut. Core utama perlu diberikan untuk mengurangkan bahayanya kerana ini bagi Permas, apa sahaja perkara yang boleh memberikan impak atau kesan positif terhadap keselamatan perjalanan kehidupan seharian penduduk dan masyarakat setempat itu perlu ditangani. Rakyat mahu kita berikan kepada mereka rumah percuma. Mereka tahu bukan semua akan dapat dibantu. Rakyat mahu kita disedekahkan makanan atau minuman kepada mereka, kepada mereka semua. Mereka tahu lebih baik disalurkan kepada yang amat memerlukan. Rakyat bijak dan rakyat yang memilih. Rakyat sebenar-benarnya hanya inginkan keselesaan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Keselamatan dan keselesaan rakyat pergi dan pulang ke tempat kerja atau operasi perniagaan mereka sebenarnya antara perkara idaman. Tiada kesesakan lalu lintas, jaminan keselamatan jalan raya adalah kemudahan yang menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti pekerjaan mahupun perniagaan mereka. Perkara seperti inilah yang memudahkan rakyat untuk berjaya dalam kerjaya atau perniagaan. Sudah tentu jika kejayaan mampu dikecapi, tidak ada isu tentang bebanan-bebanan yang terhasil daripada masalah-masalah terkumpul dari keluar rumah ke tempat kerja dan pulang kembali.

Sebuah hospital telah dicadangkan untuk dibina di Pasir Gudang, bukan kerana Pasir Gudang bernasib baik. Ini adalah berdasarkan data, berdasarkan kepadatan, berdasarkan kepada keperluan, fakta-fakta-ini tidak boleh menafikan Pasir Gudang untuk sebuah hospital.

Yang Berhormat Puan Speaker, Pasir Gudang merupakan sebuah taman dalam industri akan tetapi Pasir Gudang harus mempunyai daya saing untuk berada di setaraf dengan kawasan industri yang lain. Permas ingin satu anjakan daripada desakan perubahan cukup jika kita bandingkan dengan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang dengan pelabuhan jiran kita sebelahan Selat Tebrau. Itu sistem pelabuhan atau perkapalan kita jauh lebih ketinggalan.

Timbalan Speaker

Sila duduk. Yang Berhormat.

(Persidangan berhenti sebentar memberi laluan laungan azan)

Yang Berhormat Puan Speaker, Permas memohon agar satu bentuk pemindahan teknologi untuk membantu industri Pelabuhan Johor untuk berada di landasan yang betul untuk berdaya saing. Permas sangat mengalu-alukan penggunaan teknologi-teknologi baru yang boleh menjadi manfaat jangka masa panjang untuk membina, untuk dibina di Pasir Gudang. Tidak rugi untuk kita membangunkan suatu teknologi baru untuk disesuaikan dengan keadaan setempat, kerana jika ada manfaat ia boleh dijadikan contoh untuk seluruh negeri Johor. Antara pusat perhubungan, antaranya, pusat pembuangan sampah bersistematik yang mana setelah sampah diproses, ia boleh berhasil, ia boleh menghasilkan produk yang mempunyai nilai contohnya pembakaran terkawal pusat. Ini dapat menjana elektrik dan sisa-sisa pepejal yang setelah dineutralkan boleh dibentuk seperti batu-batu, batu bata untuk pembinaan longkang dan tambak sebagai contoh.

Walau bagaimanapun Yang Berhormat Puan Speaker, Permas masih mempunyai isu rakyat yang tidak selesai, yang tidak disempurnakan oleh kerajaan sebelum ini. Sebagai contoh, pertama, isu yang masih tidak mempunyai penghujungnya adalah status projek perumahan rakyat di Taman

Cendana, Pasir Gudang. Surat telah dikeluarkan kepada penduduk untuk tawaran sewa beli projek Perumahan Rakyat Taman Cendana, Pasir Gudang akan tetapi tawaran ini tergantung tidak bertali. Penduduk yang dipasangkan impian untuk memiliki sebuah rumah dibiarkan tanpa sebarang maklumat mahupun laporan status terkini. Adakah mereka akan terus menerus menyewa atau sebaliknya. Adakah setelah perjanjian selesai mereka terpaksa keluar?. Permas sebagai suara kepada penduduk sangat mengambil berat memohon agar pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini sudi untuk tampil memberikan keterangan dan nasihat kepada penduduk-penduduk Taman Cendana ini. Rata-ratanya adalah golongan yang tidak berkemampuan. Jika di Pasir Gudang, pasti orang tahu tentang tahap kemiskinan yang dihadapi komuniti di situ. Lawatan demi lawatan saya jalankan di Taman Cendana menemui golongan asnaf. Setiap kali lawatan, disenaraikan golongan ini terus akan bertambah. Setiap kali lawatan pasti dalam hati saya ini akan mengalir air mata melihat keperitan hidup yang dihadapi. Alhamdulillah, kita mempunyai ramai sukarelawan yang berhati mulia menjalankan kerja-kerja amal di Taman Cendana. Akan tetapi Yang Berhormat Puan Speaker, sokongan daripada kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri adalah amat kami perlukan.

Yang Amat Berhormat Puan Speaker, dengan ini Permas memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Belanjawan Tahun 2019. Permas mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dewan yang mulia ini. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 6 Disember 2018 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 4.30 petang.