Johor · 6 December 2018
1st session, 3rd meeting · 178 turns · 33,664 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Alhamdulillah kita telah sampai ke peringkat ini, semalam kita terpaksa habis awal di peringkat tengah hari. Kita dah sambung sebelah petang sebab ada masalah teknikal, mikrofon sebab mikrofonnya rosak, Speaker ok (Dewan ketawa). Mikrofon aje, Speaker ok... kalau tak ok, tak ada hari ini eh (ketawa)..
Ok, seterusnya.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Jemput Yang Berhormat Perling.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 1.
Apakah rancangan kerajaan dalam mempromosi dan memperbudayakan sains dan teknologi Johor?
Jemput Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih di atas Yang Berhormat Perling. Selalunya orang akan memberi fokus kepada KT (Kerajaan Tempatan). Kalau bukan soalan daripada Perling ini, orang sudah lupa EXCO ini ada bertanggungjawab untuk ST (Sains dan Teknologi).
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai program pembudayaan sains dan teknologi. Antaranya Festival Sains dan Teknologi, program pertandingan pameran dan aktiviti dalam bidang sains teknologi, kejuruteraan dan matematik atau singkatnya STEM, melibatkan pelajar sekolah di peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan. Minggu Sains Teknologi dan Inovasi (MISTI) dan Inovasi Digital Johor, program pameran dan aktiviti dwi-tahunan dengan melibatkan jabatan dan agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kesedaran terhadap sains dan teknologi dan inovasi di kalangan masyarakat. Kem Eksplorasi STEMJ, latihan kepada lebih 1,000 guru-guru sains dan matematik di seluruh negeri, menggunakan modul komuniti pintar sains yang dibangunkan oleh Universiti Kebangsaan Malaya, minta maaf Universiti Kebangsaan Malaysia. Modul mengandungi aktiviti amali yang mendidik pelajar mengaplikasikan STEM dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan global berkaitan isu tenaga, pengangkutan, infrastruktur bandar dan komunikasi tanpa wayar.
Seterusnya Minggu Sains Peringkat Negeri Johor dan akhirnya pelbagai inisiatif kementerian yang dianjurkan sempena World Science Day dengan izin, dengan kerjasama kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan sains dan merapatkan jurang antara sains dan masyarakat dengan menampilkan pelbagai program berasaskan sains yang menarik dan interaktif.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk 5 tahun yang lalu, kerajaan negeri tiada seorang EXCO tertentu untuk menjaga portfolio sains dan teknologi. Oleh itu, walaupun telah merancang beberapa projek ataupun di sana sini ada program-program berkenaan dengan STEM ataupun sains dan teknologi, tiada satu agensi khusus untuk memantau prestasinya dan merancang program STEM secara terperinci. Menyedari kekurangan itu, kerajaan negeri telah mengambil langkah bagi memperkasakan pembudayaan sains teknologi dan inovasi (STI). Kerajaan bakal negeri, kerajaan negeri bakal menubuhkan Majlis Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Johor yang merupakan satu pusat sehenti bagi pembudayaan sains teknologi dan inovasi dan pendigitalan di Negeri Johor melalui penglibatan kerajaan, institusi pendidikan, industri usahawan dan komuniti.
Jemput Perling soalan tambahan.
Ok terima kasih. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO dan saya ucapkan tahniah atas penubuhan Majlis Sains Teknologi dan Inovasi Negeri dan Negeri Johor ini. Tapi saya ingin tahu apakah fungsi, boleh tak buat penjelasan terhadap fungsi Majlis Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Johor ini bersama dengan rancangan-rancangan yang akan dibuat oleh Majlis ini? Terima kasih.
Jemput EXCO.
Terima kasih soalan daripada Yang Berhormat Perling. Dah agak dah. Dan ianya telah memberikan satu peluang untuk kita mendalami isu ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Majlis Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Johor antara lainnya akan menasihati kerajaan negeri dalam keutamaan, hala tuju dan dasar berkaitan dengan sains teknologi dan inovasi dan digital. Merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif penggalakan STI dan digital di Johor. Melantik kumpulan kerja pakar mengikut keperluan bagi memacu pembudayaan STI dan digital di Johor. Menjalin kerjasama dengan agensi dan industri di dalam dan luar negara untuk membudayakan STI dan digital di Johor. Menumpukan sumber peruntukan dan modal insan yang ada dari kerajaan dan swasta bagi membangunkan STI di Johor serta mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat masyarakat, akademik, pendidik, usahawan, industri dan badan bukan kerajaan atau NGO untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai pembudayaan STI di Johor.
Antara perancangan pembudayaan dan saiz dan teknologi di bawah Majlis Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Johor atau dalam singkatan yang dicadangkan JOSTIC, adalah kem dan bengkel sains teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan peruntukan sebanyak RM250,000.00 pada tahun hadapan untuk pelajar sekolah dan IPT memfokuskan kepada aktiviti amali seperti teras codding dan bidang STEM di luar kurikulum dalam darjah, bilik darjah.
Kedua adalah perbincangan akan diadakan dengan pemain industri bagi melaksanakan program pembudayaan STEM di bawah tanggungjawab sosial korporat atau dengan izin CSR dan mengkaji insentif pengecualian cukai.
Yang ketiga adalah cadangan untuk mewujudkan pusat mini STEM yang terbuka kepada orang awam. Antara pengisian yang dicadangkan adalah makmal elektronik dan robotik, bengkel pertukangan kreatif, pameran kelengkapan interaktif dan cafe sains.
Yang keempat, selari dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui pelancaran Dasar Industri 4.0 yang dikenali sebagai Dasar Industri 4WRD pada 31 Oktober 2018, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah JOSTIC, yang akan berperanan sebagai penggerak inisiatif-inisiatif digital di negeri ini. Jawatankuasa ini akan menyelaras bentuk kerjasama antara kerajaan negeri yang diterajui oleh Bahagian Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor bersama Digital Johor Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dalam menyediakan Pelan Transformasi Digital Negeri Johor.
Yang kelima adalah mengadakan program Science Fair pada tahun 2020 dan cadangan jangka panjang untuk membangunkan Pusat Sains Negeri. Sekian, terima kasih.
Tangkak jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan dan juga Majlis Sains dan Teknologi yang akan diwujudkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Tangkak adalah tadi dari jawapan Yang Berhormat EXCO adalah lebih kepada sains. Dan kita sedia maklum, bawah STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematic) ini, apakah inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan terutama dalam bidang teknologi? Sekian, terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih soalan daripada Tangkak.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti yang saya sebut tadi, selari dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pelancaran Dasar Industri 4.0 itu, Bahagian Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor bersama dengan Digital Johor akan menyediakan satu Pelan Transformasi Digital Negeri Johor. Dan kerajaan juga akan bekerjasama dengan Minic Berhad bagi mendigitalkan masyarakat di Johor dari kaedah offline kepada online. Projek ini bertujuan untuk membantu masyarakat di Negeri Johor khususnya usahawan PKS untuk memiliki alamat laman web sendiri. Antara cadangan dengan Minic Berhad adalah kita mewujudkan satu kategori yang baru dengan menggunakan dot johor dot my (.johor.my). Perkara ini masih dalam perbincangan dan pen’detail’an. Harap dapat dilancarkan pada tahun hadapan.
Pada masa yang sama, kerajaan juga dalam kajian dan cadangan untuk membangunkan aplikasi e-wallet yang dimiliki Negeri Johor. Penggunaan e-wallet tersebut turut akan memastikan keseluruhan proses dan teknologi yang digunakan selari dengan garis panduan e-money, sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan keselamatan data pengguna dan transaksi.
Melalui aplikasi e-wallet tersebut, usaha ini turut dapat dimanfaatkan oleh PBT di Negeri Johor melalui sistem bayaran digital, bayaran cukai, saman atau fee yang berkaitan. Selain itu, pengguna dan peniaga turut akan mendapat manfaat selaras dengan hasrat dan agenda kerajaan dalam cashless society dengan izin. Seterusnya mengurangkan kadar jenayah dengan menggunakan, dengan mengurangkan pembawaan wang tunai. Sekian, terima kasih.
Untuk makluman sidang Dewan, kita dihadiri oleh pemerhati daripada Kolej Pengajian Islam Johor seramai 35 orang di bawah kelolaan IKLAS dan juga Sekolah Media dan Komunikasi Malaysia seramai 5 orang. Selamat datang kepada semua pemerhati.
Seterusnya saya jemput Layang-Layang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.
Apakah perancangan dan tindakan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas lebuh raya Ayer Hitam ke Skudai?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan sidang Dewan yang mulia. Soalan berkenaan perancangan dan tindakan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas lebuh raya Ayer Hitam ke Skudai.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebahagian besar jajaran lebuh raya Utara Selatan adalah dibina oleh pihak PLUS Berhad dengan pembinaan awalan 4 lorong 2 hala. Manakala pembinaan 6 lorong 2 hala dilaksanakan terhad kepada kawasan-kawasan yang telah termaktub dalam perjanjian konsesi berdasarkan tahap level of service (LOS). Pada masa ini pihak PLUS telah melaksanakan obligasi mengikut perjanjian konsesi yang telah dipersetujui di antara kerajaan dan PLUS Berhad.
Merujuk kepada isu kesesakan dibangkitkan Yang Berhormat Speaker, sebenarnya bukannya hari-hari dia jammed, dia biasanya bila berlaku sesekali perayaan. Itu pun jammed yang dimaksudkan tahap yang ketika bila ada berlaku kemalangan. Sebenarnya kalau hari perayaan, tidak berlaku kemalangan pun, tidak ada masalah jammed. Jadi, inilah perkara yang berlaku dan cara pengiraan LOS ini sebenarnya bukan ia secara direct berapa kenderaan, katalah 10 kenderaan dikira 10, dia ada faktor contohnya kalau kereta faktor dia 1, kalau 10, 10 x 1, kalau van faktor dia 2, kalau medium lori faktor 2.5, kalau heavy lorry 3, bas 3, motosikal 0.75. Jadi, dia campurkan dan akan dapat, dia panggil unit passanger car per unit. Dan di total kan tersebut dan dikira dalam masa 1 jam. Dan level yang kalau ikut perjanjian sebenarnya kita mesti dapat jumlah lebih daripada 4,030 PCU barulah pihak PLUS diwajibkan untuk melebarkan jalan tersebut. Dan, kerajaan negeri sebenarnya tidak mampu untuk menanggung pembiayaan untuk melebarkan jalan tersebut sebab kosnya kalau
daripada Skudai ke Ayer Hitam, bilion nilai dia dan kita tidak mampu untuk fokus bajet kita ke situ. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Jemput Yang Berhormat Kahang.
Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 3.
Apa impak positif kepada rakyat negeri Johor hasil dari pelaburan yang diterima kerana kebanyakan kekosongan jawatan tidak diisi oleh rakyat negeri Johor dan nyatakan apa yang elah dilakukan oleh kerajaan hari ini untuk menempatkan pencari kerja Johor di industri-industri bernilai tinggi ini?
Terima kasih Tuan Speaker. Salam sejahtera, selamat pagi Yang Berhormat Kahang, Ahli-Ahli Dewan yang mulia di sini, tuan-tuan, puan-puan. Untuk makluman Dewan ini, Unit Swadaya Modal Insan bersama agensi-agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja, Jobs Malaysia dan agensi-agensi pekerjaan swasta membantu pencari-pencari kerja termasuk para graduan untuk mendapat pekerjaan di majikan tempatan, sektor perkilangan,syarikat antarabangsa dan lain-lain. Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan ialah:
1. Jobs Malaysia, satu jabatan yang menyediakan sistem penjodohan pekerjaan automatik secara atas talian melalui portal Jobs Malaysia yang memberi kemudahan kepada pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai. Majikan pula boleh dapat calon yang diperlui.
2. Unit Strategik Modal Insan bersama JTK menganjur karnival kerjaya dan temu duga terbuka. Bagi tahun 2018 ini, sebanyak 17 karnival kerjaya dan 203 temu duga terbuka di seluruh negeri Johor telah dijalankan. Melalui karnival kerjaya ini, 5,403 pencari kerja telah berjaya mendapatkan kerja melalui temu duga kerjaya pula. Seramai 1,919 orang telah berjaya ditempatkan. Bagi menambah penempatan pekerjaan, JTK akan terus mempergiatkan lagi program kerjasama dengan majikan yang memerlukan tenaga kerja dengan lebih aktif.
Tuan Speaker, kadar pengangguran di negeri Johor menunjukkan penurunan pada 3.4% pada tahun 2017 berbanding pada kadar 3.6% tahun sebelumnya. Ini menunjukkan kita ada di apa yang dipanggilkan full employment, dengan izin, tahap guna tenaga penuh. Bagi memastikan tahap guna tenaga penuh dikekalkan dan dalam mengenai isu pengangguran di kalangan belia, kerajaan negeri telah memberikan komitmen melalui beberapa inisiatif dan program yang diperkenalkan melalui bajet 2019.
1. Mempromosi program perantisan dalam industri di Johor iaitu, inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2019 ini adalah bagi memastikan pekerja di negeri Johor adalah berkemahiran dan kepakaran. Pekerja diiktiraf bersandarkan piawaian, standard, pensijilan profesional atau setaraf dengan keperluan industri.
2. Programme Life Long Learning dengan izin, dalam kalangan rakyat negeri Johor. Dalam program ini memastikan pekerja dalam industri yang mempunyai pengalaman melebihi dua tahun diiktiraf kepakaran serta pengalaman mereka bagi tujuan pembangunan kerjaya dan menggalakkan pengangguran dalam tempoh masa yang lama sekiranya diberhentikan kerja oleh majikan atas dasar operasi syarikat ditamatkan.
3. Program Johor upskilling dan reskilling. Di program ini asas kepada program ini adalah memberikan penekanan terhadap pendidikan bertunjangkan kemahiran kepada golongan belia lepasan sekolah dan belia menganggur bagi memastikan kebolehpasaran dalam mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih kompetitif.
Jadi inilah beberapa program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Johor, selain daripada itu, IRDA pun ada beberapa grant untuk membantu pemuda-pemudi.
1. Iskandar Malaysia Employment Grant iaitu insentif kepada majikan bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja baharu daripada pelbagai golongan serta memberikan latihan kemahiran sewajarnya.
2. Iskandar Malaysia Profesional Certification. Kolaberasi bersama kolej profesional swasta bagi melahirkan lebih ramai Accountant Profesional tempatan.
3. German Dual Vocational Trainning. Kolaberasi bersama Malaysia German Chamber Of Commerce dan Industries bagi melahirkan tenaga kerja yang berkualiti, berpendidikan dan kemahiran tinggi.
Selain itu, IRDA turut melaksanakan inisiatif pembangunan usahawan bagi mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan jurang pendapatan di Iskandar Malaysia. Program usaha dinamik Iskandar Malaysia yang dijalankan telah memberi manfaat kepada 117 usahawan mikro melalui pemberian grant dan pinjaman mudah di samping program pembangunan kapasiti yang telah berjaya membantu 1,425 usahawan kecil dan sederhana sehingga tahun 2018. Kerajaan negeri akan terus komited melaksanakan inisiatif dan program pembangunan modal insan bagi menciptakan lebih banyak lagi pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan khususnya. Sekian, terima kasih.
Ya, Kahang. Jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan saya ialah terima kasih EXCO di atas inisiatif yang dilaksanakan oleh Unit Strategik Modal Insan. Dan, di negeri Johor ini kita ingin membawa pelaburan-pelaburan dan juga memberi fokus kepada industri-industri seperti 4.0, Aero Space, Artificial Intelligent, Digital Johor dan sebagainya dan kebanyakan kerja-kerja ini memerlukan kepakaran yang tinggi. High and Skill Workers dan kita juga pernah lihat bahawa pelabur-pelabur besar contohnya di Pengerang, dah masuk ke Johor ini sering kali key position tidak diisi oleh anak-anak Johor. Ia diisi oleh mereka yang bawa dari Kuala Lumpur dan sebagainya.
Jadi, ini menjadi satu kehilangan yang besar kepada negeri Johor dan memang betul kita ada Jobs Malaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja yang membuat job matching diantara majikan dan pencari kerja. Tetapi ia adalah merangkumi satu very general aspect kalau Jobs Malaysia kita lihat daripada pekerja am sehingga ke akauntan boleh mendaftar di Jobs Malaysia. Jadi, cadangan atau pun soalan saya ialah adakah kerajaan negeri Johor memandangkan kita mempunyai wawasan yang besar untuk membawa projek-projek berimpak tinggi, syarikat-syarikat besar akan memasuki Johor dan kita juga tidak hendak satu keadaan peluang pekerjaan tidak diisi oleh orang Johor.
Jadi, adakah Unit Strategi Modal Insan ini mempunyai cadangan untuk menubuhkan satu database pekerjaan. Sama macam Jobs Malaysia tetapi di mana syarikat-syarikat yang ada di Johor boleh mendaftar dalam database tersebut dan pencari-pencari kerja yang merangkumi anak-anak negeri Johor yang juga mempunyai kepakaran dan juga kemahiran berskala tinggi ini boleh mendaftar juga dalam database tersebut dan unit Strategi Modal Insan boleh menjadi agensi untuk membuat job matching. Jadi, dengan cara ini majikan yang ada di Johor akan mendapat tenaga kerja daripada negeri Johor. Apakah Unit Strategi Modal Insan mempunyai cadangan seperti ini untuk menubuhkan database pekerjaan?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Ya, memang kita berhasrat mengadakan satu database. Tetapi seperti Yang Berhormat pun maklum bahawa Unit Strategi Modal Insan ialah satu agensi koordinasi dengan semua jabatan-jabatan lain. Termasuk Jobs Malaysia dan JTK. Jobs Malaysia ada potensi dan ada juga aplikasi dan sistem untuk, satu, memperjodohkan pekerjaan di antara majikan pekerja dan mereka juga ada kapasiti dan untuk juga jadi satu database. Dan kami juga sedang bincang dengan Jobs Malaysia untuk tambah peranan mereka untuk jadi satu agensi untuk database bukan sahaja untuk database kita pun ada bincang bahawa Jobs Malayisa menubuhkan satu bangunan atau satu tempat di mana mereka, majikan dan pekerja boleh jumpa, boleh interview dengan izin, dan juga mereka pun boleh Skype dengan majikan di luar negara. Banyak kemudahan-kemudahan di tambah di Jobs Malaysia.
Jadi, itulah dirancangkan dan kami akan melaksanakan inisiatif-inisiatif ini khususnya database. Bukan di unit Strategi Modal Insan tetapi di Jobs Malaysia. Sekian, terima kasih.
Ya, Benut.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat, satu ketika berbangkit tentang soal lambakan pekerja atau jumlah pekerja dari Johor bekerja di negara Singapura, itu salah satu daripada perkara-perkara yang sering dibangkitkan. Seolah-olah kerajaan negeri atau negeri tidak menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi yang menyebabkan banyaknya rakyat Johor yang bekerja di sana. Malah ditolak pendapat tentang soal cross border economy dengan izin, jadi adakah Yang Berhormat merasakan bahawa strategi, rancangan Yang Berhormat sebut tadi tu akan dapat mengurangkan jumlah pekerja yang akan berhijrah ke Singapura? Dan apakah asas Yang Berhormat tentang keyakinan itu?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Benut atas soalan tambahan. Sebenarnya Yang Berhormat, apa yang berlaku ialah tiap-tiap hari lebih kurang 2,000 orang pergi ke Singapura untuk kerja dan balik. Mereka pergi ke Singapura bukan sebab tidak ada kerja di sini tetapi kelebihan mata wang Singapura, satu per tiga. Ini ialah satu daya tarikan yang kita mahu lawan daya tarikan ini susah sikitlah. Kalau mahu lawan kita punya mata wang pun kena naik jugalah. Jadi itulah cabaran. Walau bagaimanapun, seperti saya cakap tadi bahawa kadar pengangguran ialah 3.4% di Johor ini macam satu kadar full employment ok. Oleh sebab ada full employment pemuda-pemudi sangat terpilih dan tidak mahu ambil risiko dan kita pun kena maklum bahawa kita pun ada ramai pekerja asing dengan izin tanpa izin di negeri ini. Dan, mereka kehadiran mereka beri tekanan untuk turun gaji, bukan naik gaji. Pada tahap gaji itu, pemuda-pemudi tempatan tidak berminat kerja di sini. Jadi, itulah cabaran, cabaran ialah nilai mata wang. Kalau kita boleh, tetapi mereka pun, saya pun dengar bahawa itu hari-hari pergi ke Singapura balik banyak kesesakan, banyak susah mereka pun mengalami ini. Tetapi kita naik separuh pun mereka boleh kerja di sini. Jadi, inilah cabaran kita kena mengendali. Sekian, terima kasih.
Semarang.
Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mengakui bahawa tarikan ke Singapura adalah kerana currency ataupun kadar mata wang. Soalan tambahan saya, adakah pihak kerajaan berhasrat untuk mengadakan polisi ataupun kuota menentukan, menetapkan yang dalam konsep Johor Job for Johorean, untuk pembangunan khususnya di RAPID dan IRDA dan mana-mana pertumbuhan baru perindustrian dalam negeri Johor. Terima kasih.
Jemput, EXCO.
Ada ramai pemuda, pemudi dari negeri-negeri lain datang ke negeri Johor, duduk di sini, ramai bekerja di Singapura dan juga ada banyak peluang pekerjaan di negeri Johor. Sebenarnya, majikan iaitu pekerja tempatan Johor tidak cukupi untuk memenuhi semua pekerjaan yang ada sekarang. Kita kena bergantung kepada pemuda, pemudi yang datang daripada negeri-negeri lain untuk memenuhi keperluan majikan. Jadi, kalau kita ada satu polisi ialah pekerjaan hanya memenuhi pemuda, pemudi Johor, ini akan bawa akibat buruk kepada majikan. Mereka perlu banyak lagi pekerja. Jadi, inilah keadaan sekarang. Sekian, terima kasih.
Soalan seterusnya, saya jemput Machap.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Soalan No. 4.
Sejauh mana keberkesanan PIBG sebagai pemudah cara antara pihak sekolah dan PIBG itu sendiri.
Soalan No. 5.
Sejauh mana peranan yang dapat dimainkan oleh Briged Komuniti dalam membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin pelajar.
Yang Berhormat Mengkibol, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan No. 6.
Sumbangan PIBG yang sepatutnya secara sukarela telah menjadi paksaan secara tidak bertulis dan berleluasa. Sila nyatakan langkah-langkah pengawalan untuk mencegah sumbangan paksaan PIBG.
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya menjawab bersekali Soalan 4, 5 dan 6. Kita sedia maklum bahawa Persatuan Ibu Bapa ataupun PIB), di sekolah ditubuhkan adalah berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Akta 550.Di antara tujuan penubuhan PIBG adalah sebagai satu forum dan perkhidmatan untuk ibu bapa untuk membantu, memenuhi kehendak dan keperluan sekolah bagi tujuan kebajikan dan kemajuan murid. Peranan PIBG amatlah penting dalam membantu pihak sekolah dalam pelbagai aspek seperti akademik, jalinan dana, prasarana dan infrastruktur selain daripada proses pendidikan dan kemajuan sesebuah sekolah.
Untuk makluman Yang Berhormat yang bertanya, PIBG berperanan sebagai satu persatuan yang beroperasi dengan sumber kewangan yang diperolehi hasil sumbangan dari semua ahli iaitu ibu bapa, pelajar yang belajar di sekolah berkenaan atau pihak–pihak yang berhajat memberi sumbangan kepada sekolah demi kemajuan pendidikan anak-anak mereka. Dengan sumbangan yang diterima dari ahli-ahli PIBG ini digunakan untuk membantu sekolah sepertimana yang setelah saya sebut tadi. Sehingga kini, tiada sebarang bentuk peraturan atau cadangan daripada pihak kerajaan bagi menyalurkan bantuan secara khusus kepada PIBG melainkan beberapa sekolah yang ada PIBG yang telah diluluskan di bawah ROS atas isu-isu tertentu. Pengoperasian dan program-program PIBG di sekolah adalah berdasarkan dana kewangan yang diterima dari pihak yang membantu secara ikhlas memberi sumbangan. Perkara ini bertepatan dengan matlamat penubuhan PIBG.
Mengikut Akta Peraturan Pendidikan, Akta 1996, Peraturan-Peraturan Pendidikan Persatuan Ibu Bapa (PIBG) 1998, Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa (PIBG) dalam Perkara 37, ‘punca-punca pendapatan Persatuan mengatakan Persatuan boleh menerima sumbangan daripada anggota Persatuan, derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain serta pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti Persatuan tersebut’. Dari sumbangan yang diterima daripada Persatuan yakni ibu bapa mestilah diputuskan jumlahnya dalam Mesyuarat Agung Tahunan PIBG pada tahun semasa. Walau bagaimanapun, anggota Persatuan tidak boleh dipaksa untuk memberi apa-apa sumbangan, yakni secara paksa.
Dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melalui Anjakan Ke 9, maka peranan PIBG dalam usaha membantu pelaksanaan aktiviti sekolah telah diperluaskan dengan satu inisiatif iaitu penglibatan ibu bapa dalam komuniti, PIBK. Diwujudkan bukan hanya sekadar satu inisiatif malah turut berperanan bersama PIBG dalam usaha membantu dan meningkatkan pencapaian pendidikan di sekolah dengan pelbagai aktiviti seperti jalinan kerjasama, bantuan kepakaran dalam pendidikan, kursus dan motivasi dan tidak kecuali juga sumbangan berbentuk kewangan kepada sekolah. Briged Komuniti mempunyai ruang yang amat luas dalam membantu pihak sekolah menangani masalah disiplin pelajar berdasarkan faktor-faktor memahami budaya, iaitu Briged Komuniti ini penduduk setempat yang berada di sekitar sekolah yang memahami budaya persekitaran sekolah berkenaan. Maka, mudah bagi Briged Komuniti membantu dalam kawalan anak-anak pelajar setempat. Di mana di sinilah kawalan di luar kawasan sekolah di mana guru-guru disiplin dia tidak boleh bertindak ataupun mengambil tindakan apabila anak-anak berada di luar daripada kawasan sekolah. Jadi, persatuan ataupun Briged Komuniti boleh, setidak-tidaknya sebagai kakitangan ataupun mata-matalah kepada pihak sekolah untuk buat laporan kepada pihak sekolah bahawa kegiatan anak-anak kita di luar dengan lebih mudah. Di mana bidang kuasa guru terbatas hanya di dalam kawasan sekolah maka di sinilah peranan yang dipanggil Briged Komuniti. Sekian, terima kasih.
Jemput, Machap.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih juga kepada YB EXCO yang telah menjelaskan soalan telah dibangkitkan oleh Machap. Bagi keseluruhannya, Machap rasa gembira dengan jawapan yang telah diberikan yang menunjukkan pemahaman yang jelas tentang aspek PIBG. Machap gembira tapi dalam masa yang sama Machap juga rasa sedih sebab bila dah jadi Pembangkang ini dah tak boleh masuk sekolah lagi. Apatah lagi untuk merasmikan mesyuarat Agung PIBG. Sebab di Machap saya telah berusaha untuk mendapatkan pembinaan sekolah baru iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sri
Machap yang telah diluluskan oleh pada masa itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh. Terima kasihlah kepada beliau, tapi yang sedihnya bila sekolah itu tahun depan jangkanya beroperasi jadi Machap tak boleh masuk atas dasar…
Nak masuk boleh Yang Berhormat, kena pindah belah sana.
Machap ingin bertanyakan. Berkaitan dengan ada atau tidak program-program ataupun kursus-kursus yang diadakan kepada seluruh YDP PIBG supaya segala tindakan mereka itu untuk mentadbir, menguruskan PIBG selaras dengan kehendak PIBG di seluruh negeri Johor terutamanya. Sebab Machap melihat ada dalam kalangan YDP PIBG yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang berpendidikan, ada yang korporat, ada tokoh politik dan sebagainya.
Soalannya apa Yang Berhormat.
Tengah fikir ni, soalan ini. Sambil cakap tengah fikir ini.
Ini bukan perbahasan. Ini soalan tambahan.
Jadi soalan yang telah Machap sentuh tadi berkaitan dengan ada atau tidak program-program yang menyatukan usaha ke arah tindakan YDP PIBG ini ke arah yang kita ingin supaya ada keselarasan tindakan untuk memajukan pihak sekolah. Terima kasih.
Terima kasih. Maknanya masa Machap bangun tadi, dia tak ada soalan tambahan tapi dia bangun juga. Jemput YB EXCO.
Terima kasih YB Machap. Dia pun bekas guru, itu sebab dia soalan mengenai PIBG dia mahir. Tiba-tiba tak dapat masuk sekarang, insya-Allah belah sini boleh masuklah. Menyeberang ke mari. Jadi, insya-Allah, terima kasih atas soalan tambahan. Sebenarnya, kita bagi bawah Portfolio saya kita akan cuba merancang satu pertemuan dengan semua PIBG untuk memastikan PIBG didaftarkan dengan ROS supaya mudah pengurusan-pengurusan yang berkaitan dan Pengerusi-Pengerusi PIBG ataupun Yang Dipertua PIBG ini bertanggungjawab dalam semua perkara sebab ada setengah-setengah PIBG, anak dah tak ada tetapi YDPnya itu masih kekal dan ini juga diberikan peranan kerana pihak sekolah menyayangi tanggungjawab PIBG yang mengusahakan program-program kemajuan anak-anak pelajar dia dan juga kemajuan dari segi pembangunan bukan sahaja dari segi pendidikan akademik tetapi juga infrastruktur banyak contoh-contoh sebagaimana di Sekolah Menengah Taman Universiti, Sekolah Menengah English College, tempat saya pernah bertugas. Di mana YDPnya anak dah tak ada dah tapi oleh kerana kebijaksanaan mengurus dan membantu pihak sekolah maka dia dikekalkan. Dan mungkin kita di bawah Portfolio saya kita akan panggil Pengerusi-Pengerusi PIBG ini, YDP ini untuk kita berikan penerangan, penjelasan supaya pertamanya dia betul-betul membantu pihak sekolah. Yang keduanya, kita bimbang tak mahu ada penyelewengan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang menerima dana-dana daripada orang ramai ini. Terima kasih.
Jemput, Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Sebenarnya saya tidak berapa memuaskan, puas hati dengan jawapan sebab soalan saya ialah nyatakan langkah-langkah pengawalan untuk mencegah sumbangan PIBG secara paksa?Maksudnya perkara ini sudah wujud. Dan, soalan saya ialah apakah langkah-langkah untuk mencegah dan mengawal?Mengikut Perkara 5(4), Peraturan-Peratuan Pendidikan. Apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar. Perkara…
Yang Berhormat, Yang Berhormat saya nak tanya, ini sumbangan macam mana boleh paksaan pulak? Sumbangan-sumbanganlah.
Sebab sumbangan ditetapkan pertama, kadar yang tinggi. Contoh yang saya kemukakan ialah satu sekolah tetapkan pada kadar RM245.00. Secara paksaan
kerana sebab pelajar-pelajar atau ibu bapanya mengadu bahawa kalau tidak bayar, sijil tidak akan dapat. Ataupun markah korikulum atau extra korikulum akan dipotong sehingga mereka terpaksalah kena bayar. Dan, saya pernah jumpa dengan seorang pengetua dia pun mengaku dan berjanji bahawa akan ambil tindakan dan mengarah kepada guru-guru tingkatan supaya tidak lagi memaksa pelajar-pelajar membayar sumbangan PIBG. Dan sebenarnya, walau dalam Peraturan-Peraturan Kementerian ataupun Jabatan Pendidikan, sumbangan ini mestilah secara sukarela dan tidak membenarkan dan tidak mengandungi unsur paksaan. Tetapi pada realitinya perkara in sudah menjadi satu masalah ataupun secara berleluasa. Dan, cadangan saya ialah untuk mencegah apa yang kita boleh buat adalah memberi arahan kepada semua sekolah atau PIBG dalam surat sumbangan PIBG mereka nyatakan dengan jelas dan bertulis dalam suratnya bertulis dengan perkataan sukarela dan mungkin dalam huruf besar, sekiranya boleh. Kerana dalam surat sumbangan PIBG contohnya mereka cuma memaklumkan ibu bapa, apakah kadar? Contoh ini dia kata, jumlah sumbangan RM240.00 dan sehubungan ini, ibu bapa diminta jelaskan sumbangan ini dalam tempoh yang ditentukan.
Soalannya, soalan Yang Berhormat soalan.
Soalan saya ialah bolehkah nyatakan secara bertulis dalam surat yang dikeluarkan oleh PIBG, nyatakan dengan jelas perkataan sukarela ini. Dengan ini, ibu bapa pelajar atau guru tingkatan tidak akan dapat mengutip sumbangan ini secara paksaan, secara bersurat. Terima kasih.
Ok, jemput EXCO.
Menjawab persoalan daripada Mengkibol. Sebenarnya PIBG ini bukan baru tahun ini wujud, ataupun bukan 2, 3 tahun wujud. Dan, mungkin ibu bapa yang mempersoalkan perkara ini mungkin ibu bapa yang baru hantar anak, itu yang dia tak tahu. Kalau katakan perkara ini dah menjadi satu daripada kewajipan, kelulusan daripada pihak Jabatan Pendidikan, akan memberikan kelulusan mengikut jumlah sumbangan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat PIBG. Yang membawa maksud ibu bapa bersetuju kehendak apa yang diputuskan dalam Mesyuarat PIBG. Seandainya ibu bapa segelintir seorang dua yang ada masalah, yang mungkin memerlukan bantuan kerana waktu itu mungkin tak ada kerja atau sebagainya. Saya yakin dan percaya ianya bukan jadi masalah kepada Persatuan Ibu Bapa Guru di sekolah yang berkaitan, memaksa sebab sepertimana yang saya sebut tadi, pengalaman 30 tahun berada dalam pentadbir, dalam guru sebagai guru, kita sedia maklum memang ada di kalangan keluarga yang tak mampu. Dan bila tak mampu, guru-guru mengeluarkan sumbangan untuk anak-anak ini. Sebab bukan semua anak-anak itu diwajibkan membayar. Diwajibkan membayar kepada satu keluarga sahaja seandainya ada 6 orang anak-anak di sekolah yang berkenaan. Darjah 1, darjah 2, darjah 3, darjah 4, darjah 5, darjah 6. 6 orang anak dia di sekolah itu, ibu bapa hanya bayar 1 sahaja, menandakan keluarga kepada anak-anak tadi. Jadi di sini, saya minta kepada semua seandainya, seandainya ada sekolah-sekolah ataupun yang bertanggungjawab memaksa ibu bapa membayar, buat laporan terus kepada saya. Dan daripada maklumat Jabatan Pendidikan, dia menyatakan bahawa tidak ada sebarang maklumat laporan berkaitan dengan bayaran secara paksa. Jadi dalam dewan yang mulia ini, saya mintalah kepada mana-mana pihak ataupun ibu bapa yang tidak puas hati tentang keputusan mesyuarat agung mereka, mereka kena buat bantahan dalam masa mesyuarat. Ambil keputusan bersama dalam mesyuarat. Jadi bila keputusan dah diputuskan bersama dalam mesyuarat, tak wajarlah ibu bapa tadi merungut atau membuat bantahan dengan menyatakan bahawa bayaran itu adalah bayaran paksaan. Dan itu perkara yang istilah kita disepakati, berdasarkan kepada keputusan ahli, apa ahli-ahli dalam mesyuarat agung yang berkenaan. Itu sebagai jawapan seterusnya. Sekian, terima kasih.
Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mendengar agak teliti apa yang dibawa oleh Yang Berhormat Mengkibol tadi, berkenaan dengan sumbangan daripada ibu bapa kepada pihak PIBG. Pokoknya ialah sama adakah pihak Kementerian Pendidikan boleh mengarah PIBG untuk mengeluarkan surat, dalam surat tersebut kepada ibu bapa yang ingin membuat sumbangan. Buat, apa ni dalam surat tersebut masukkan satu perkataan sumbangan secara sukarela, itu pokok dia. Boleh tak pihak Kementerian mempertimbangkan perkara ini?
Jemput YB EXCO.
Ok, yang keluarkan surat arahan kepada ibu bapa bukannya pihak Jabatan. Jadi, untuk maklumat kepada YB yang bertanya kena faham. Persatuan Ibu Bapa keluarkan surat itu kepada ibu bapa. Pihak sekolah ini dia cuma memanjangkan sahaja surat panduan ataupun keputusan mesyuarat daripada Persatuan Ibu Bapa. Jadi untuk makluman, makna sekarang ini itu sebab tadi saya kata, saya menyebut bahawa kita akan adakan taklimat kepada YDP Persatuan PIBG ini supaya mereka keluarkan surat itu berdasarkan kepada memang diaudit oleh Persatuan Ibu Bapa, bukan di bawah kerajaan, bukan di bawah jabatan, pengarahan itu. Jadi ini kena maklum tentang soalan, perkara yang mesti difahami. Arahan daripada PIBG kepada ibu bapa dan boleh kita minta nanti kepada Persatuan-Persatuan Ibu Bapa menjawab atau mengeluarkan surat, ini bukan paksaan, bukan arahan daripada sekolah, daripada jabatan. Jadi jawapan di sini dah sepatutnya dimaklumi oleh pihak, oleh semua pihak. Jabatan Pelajaran dan juga semua pihak memahami bahawa surat pengarahan pembayaran bukan datang daripada Jabatan Pendidikan tetapi Jabatan Pendidikan hanya meluluskan permohonan Persatuan Ibu Bapa Guru bahawa yuran yang dikehendaki berdasarkan kepada keputusan mesyuarat dan jabatan akan keluarkan, saya minta Pengarah Pelajaran Johor akan memaklumkan bahawa bayaran yang diputuskan berdasarkan mesyuarat agung PIBG sekolah, sekolah A yurannya sedemikian dan bukan paksaan kepada ibu bapa. Sekian, terima kasih.
Saya kira selesailah, kita sambung kepada soalan seterusnya Yang Berhormat. Yang Berhormat Buloh Kasap jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 7.
Minta kerajaan menyatakan jumlah rumah PPRT yang telah dibina kerajaan negeri sejak 2014 hingga 2018 dan adakah ia akan diteruskan untuk tahun-tahun akan ke hadapan?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Dato’ MB dan Yang Berhormat Ahli Dewan sekalian. Terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Buloh Kasap di atas soalan yang dikemukakan.
Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, program perumahan rakyat ringkasnya PPR adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman dari golongan yang berpendapatan rendah. PPR di Negeri Johor dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan diserahkan pengurusan kepada SUK Bahagian Perumahan untuk diurus dan dibuat pengisian kepada penyewa yang layak.
Setakat ini PPR yang ada di Johor adalah disewakan pada kadar RM124.00 sebulan. Selain itu, Kerajaan Negeri Johor juga telah mengesyorkan beberapa lokasi tanah di Negeri Johor kepada pihak KPKT bagi pertimbangan pembinaan PPR, projek perumahan rakyat pada masa yang akan datang. Ianya melibatkan beberapa daerah iaitu daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Batu Pahat dan juga Muar.
Untuk makluman juga sebanyak 9,537 unit PPR telah berjaya disiapkan bermula daripada 2006 hingga 2018. Manakala 2,272 unit PPR bakal disiapkan menjelang tahun 2019. 730 unit pada tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker, minta maaf Datuk... Tuan Speaker. Soalan, soalannya ialah PPRT...
Benut, peraturan mesyuarat sekarang ialah YB EXCO tengah menjawab, peraturan mesyuarat mana?
Saya tak ada...
Tenang, duduk dulu. duduk dulu.
Jawapan itu ok cuma persoalan dia adalah rumah PPRT bukan rumah PPR. Rumah PPRT yang ada dibina oleh Kementerian Luar Bandar.
Ok, maklum Yang Berhormat.
Terima kasih.
Saya... Yang Berhormat Benut, saya tak selesai jawab lagi.
Dia panjang lagi Yang Berhormat. Mukaddimah aje tu.
Sebab dalam penafsiran soalan ini pun tidak jelas, yang diminta menyatakan jumlah rumah PPRT yang telah dibina. Jika menurut istilah PPRT iaitu Program Perumahan Rakyat Termiskin, ianya merujuk kepada program yang membantu untuk membaiki rumah penduduk Malaysia yang tinggal di pedalaman bagi golongan miskin dan juga miskin tegar. Konsep program ini adalah dengan menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa sebagai asas pertumbuhan sesebuah keluarga. Senarai bagi golongan tersebut boleh didapati di Pejabat Daerah bagi setiap daerah. Maka program PPRT ini lebih berbentuk membaiki rumah yang sedia ada.
Sebab dalam soalan ini disebut untuk dibina, bila dibina kita menjawab dua-dua, PPR pun kita beri jawapan, PPRT pun kita beri jawapan. Terserah kepada Buloh Kasap yang mana dimaksudkan. Kalau dimaksudkan PPRT, sekadar itu jawapan saya Yang Berhormat Tuan Speaker.
Larkin.
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan saya boleh tak kita kongsi berapa banyak projek PPRT yang terbengkalai yang tak dapat disiapkan sebelum ini. Terima kasih.
Jemput EXCO.
Tambahan daripada Yang Berhormat Larkin. Tentang statistik perangkaan tersebut tidak ada pada saya sekarang ini tetapi insya-Allah saya akan jawab secara bertulis. Sekian Yang Berhormat Speaker.
Semarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan bantuan rumah PPRT ini, sebenarnya ianya bukan sekadar pembaikan rumah semata-mata. Betulkan saya kalau saya salah. Sebenarnya ada bantuan untuk membina semula rumah dalam program PPRT ini. Soalan tambahan saya adalah apakah kriteria-kriteria, syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan untuk membolehkan mereka mendapat rumah baru PPRT ini? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih di atas soalan tambahan. Terdapat beberapa agensi dan saya tidak menafikan ada pembinaan semula rumah khususnya yang dianjurkan seperti oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Dan kebiasaannya Majlis Agama Islam Johor, syaratnya adalah mestilah termasuk dalam golongan asnaf yang boleh diberikan bantuan dengan menggunakan wang zakat yang dikutip oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Bukit Naning.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 8.
Apakah teknologi pertanian baharu yang diguna pakai dalam memajukan sektor industri nanas bagi meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha tempatan menampung masa kini?
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Dato’ MB, dalam usaha meningkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha nanas tempatan, kerajaan melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia telah memperkenalkan variasi baru nanas iaitu nanas MD2 di mana ia boleh mendatangkan hasil lebih 2 kali ganda berbanding dengan nenas Moris.
Nanas MB2 mempunyai daya kebolehpasaran yang lebih baik di mana ia boleh dieksport ke luar negara kerana mempunyai ketahanan tinggi dan shelf life yang panjang berbanding dengan nanas lain. Nanas MB2 juga menguasai 70% pasaran nanas dekat dunia. Malaysia telah menandatangi perjanjian dengan kerajaan China untuk mengeksport sejumlah 100 kontena sebulan nenas MD2. Walau bagaimanapun buat masa ini, Malaysia hanya mampu mengeksport 10 hingga 20 kontena sebulan. Oleh itu, pengusaha tanaman nanas adalah digalakkan untuk bertukar tanaman nanas kepada nanas MD2 bagi memenuhi permintaan ini dan pasarannya adalah terjamin.
Pengusaha juga digalakkan untuk menanam nanas secara integrasi dengan tanaman lain seperti kelapa sawit dan getah. Sementara menunggu tanaman utama itu mengeluarkan hasil, tanaman nanas dapat memberi dan menambah pendapatan pengusaha. Untuk tanaman kelapa sawit, nanas boleh ditanam sebanyak 2 pusingan sebelum kelapa sawit tersebut boleh dituai. Satu pusingan tanaman nanas mengambil masa 15 bulan iaitu dari mula ditanam sehingga boleh dituai. Sekian.
Jemput, Bukit Naning.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, nenas adalah merupakan sumber pendapatan utama atau sampingan masyarakat di kawasan tanah gambut kerana struktur tanahnya yang paling sesuai dengan penanaman nenas. Bukit Naning merasakan sudah sampai masanya kaedah penanaman, pengeluaran dan pengkomersialan dipertingkatkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Bukit Naning adalah bagaimanakah kaedah industri ini dapat menghadapi revolusi Industri 4.0 setelah jualan secara pukal atau runcit berlaku seperti biasa ditukar, contohnya ditukar dengan cara seperti membuat kerepek nenas ataupun ekstrak nenas. Terima kasih.
Jemput YB EXCO. Kerepek nenas tu.
Terima kasih Bukit Naning. Sehingga ke hari ini, sebetulnya bekalan nenas MD2 masih tidak cukup di pasaran kita. Maknanya MD2 sentiasa mendapat permintaan yang sangat tinggi. Namun, untuk buat kerepek nenas ke ataupun industri hiliran, sebetulnya pihak FAMA, pihak UTM sendiri mempunyai teknologi di mana mereka dapat membuat kerepek nenas dan makanan ringan yang berasaskan nenas dan hasil-hasil sampingan yang lainlah seperti ubi semua itu. Jadi, insya-Allah, nenas dan industri-industri hilirannya tidak menghadapi masalah untuk menghadapi Industri 4.0. Sekian, terima kasih.
Jemput, Semarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan adalah berkenaan teknologi pertanian baru. Dan ia merangkumi banyak perkara. Soal teknologi mekanismenya, mahupun teknologi yang lain berkenaan dengannya. Saya hendak tahu, apakah pendapat dan pendirian kerajaan Johor untuk memastikan bahawa industri nenas ini terus berkembang berkenaan dengan penggunaan tissue culture ataupun tisu .... tissue culture dengan izin, dalam soal pembiakan. Apakah pendirian kerajaan negeri dan kalau sokong, kenapa? Kalau tidak, kenapa?
Jemput YB EXCO.
Dua-dua kena jawablah tu. Ok, terima kasih.
Jawablah, dah soal.
Jawab, insya-Allah. Apa pun teknologi yang untuk menambahbaikkan hasil nenas biasanya kita kerajaan, kita akan menyokong kerana kita ada FAMA, kita ada MARDI, kita ada Lembaga Nenas yang sentiasa setiap hari mengkaji, menambah baik untuk memastikan nenas-nenas yang dihasilkan oleh kerajaan negeri menjadi bertambah baik. Jadi, baik sama ada menggunakan tissue culture ke ataupun apa-apa teknologi pun, yang penting untuk penambahbaikan hasil nenas itu, tentulah kita akan sokong, ya. Terima kasih.
Ha, Benut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bercakap tentang soal teknologi dan usaha untuk meningkatkan pendapatan dari kalangan penanam nenas ini, untuk makluman Dewan yang mulia ini, kita telah menanam nenas lebih 70 tahun saya kira orang Malaysia adalah penanam nenas yang terhandal di dunia. Tetapi kita masih lagi melihat bahawa penanaman nenas ini dengan teknologi yang kita gunakan, masih lagi tidak menjadi sesuatu yang dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat. Apa pandangan Yang Berhormat, usaha dari segi teknologi ini supaya nenas MD2 ini sebenarnya setara dengan nenas yang dikeluarkan oleh syarikat antarabangsa seperti Dell Monte ataupun Doll. Tetapi kita tidak ada pengiktirafan itu. Nenas sama, tetapi kita tidak ada brandingnya. Kerana di situlah hasil pendapatan yang terbaik. Apakah usaha-usaha untuk hendak kaitkan teknologi ni Yang Berhormat, kalau dilihat untuk memastikan kita dapat premium price itu, harga yang premium untuk penanam nenas itu.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, kita menanam nenas sudah 70 tahun, kerajaan lama memerintah 62 tahun, kerajaan baru, baru hampir tidak lebih 6 bulan. Tuan hendak kami buat sehingga hasil-hasil nenas paling gah di dunia. Jadi, saya ingin menasihatkanlah kepada semua, baik kepada pihak pembangkang, mahupun pihak kerajaan, janganlah pihak pembangkang hanya pandai membangkang. Bismillahirahmanirrahim, Juz 13, Surah Al Rahman.
Jawapan dekat mana ni Yang Berhormat? (Dewan ketawa).
Maksud dia ya, Dan ingatlah sewaktu Tuhan kamu memperingatkan kamu, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambahkan nikmat mu, dan jika kamu kufur, maka azab Allah amat berat sekali.
So, jadi yang di sebelah di sana faham-fahamlah sikit, bersyukur, kami pun insya-Allah akan sentiasa bersyukur. Begitu juga tuan-tuan, adik-adik, puan-puan di atas tu, kena sentiasa bersyukur. Kita kerajaan pasti, insya-Allah akan menambah baik sistem penanaman nenas. Kalau dulu, orang cakap tanah gambut hanya sesuai tanam nenas, betul tak? Tetapi sebetulnya statement itu pun salah. Nenas hanya sesuai tumbuh di tanah gambut. Maknanya sekarang, dengan pemahaman kita yang lebih faham, kita tahu bahawa nenas dapat tumbuh di mana-mana pun. Dan tuan-tuan kena ingat bahawa penghasilan satu ekar nenas dan satu ekar kelapa lebih tinggi di banding menanam satu ekar kelapa sawit. Jadi, sekarang siapa kena bohong? Orang kampung pun semua kena bohong. Dulu cakap apa? Kelapa sawit, kelapa sawit, kelapa sawit. Sekarang apa yang terjadi, sebetulnya kita kena banyak belajar dan banyak menanam jangan hanya tahu menanam kelapa sawit, kelapa sawit, kelapa sawit. Jadi orang kampung, durian tinggi, harga durian tinggi, semua tanam durian, kan? Langsung tidak kreatif, patutnya ada sepuluh ekar tanah, 20 ekar tanah tanam lah 10 ekar...
Minta ringkaskan.
10 ekar kelapa sawit, 10 ekar tanam nenas. Itu sahajalah saya cakap. Terima kasih tuan. (Dewan ketawa dan bertepuk).
Saya tengok pembangkang kuat betullah tepuk. Maksud sokong betul tu kenyataan itu. Ada peraturan Dewan? Soalan ya?
Soalan ini, isu nenas.
Dah habis ni Yang Berhormat ni. Dah tiga orang ni. Saya kira kita hendak sambung soalan seterusnya dan minta maaf Yang Berhormat. Kita sambung.
Sedap ni. Nak tanya soalan yang bagus ni. Boleh tanya?
Dah habis ni Yang Berhormat. Nanti tak apa, tak apa Yang Berhormat, ada lagi soalan ini, boleh kemukakan selepas ini ya. Saya persilakan Yang Berhormat Tenggaroh. Saya bukan apa, kita dah tetapkan antara dua dengan tiga kan, jadi kalau lebih itu nanti yang lain tidak dapat menjawab pula. Ok, persilakan Yang Berhormat Tenggaroh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 9.
Mengikut laporan lebih ramai pelancong menggunakan Jeti Tanjung Gemuk. Rompin daripada Jeti Mersing untuk melancong ke pulau berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Ini menjejaskan perniagaan makanan dan hotel di Mersing. Apakah rancangan kerajaan negeri Johor untuk meningkatkan balik penggunaan jeti Mersing?
Soalan nombor 9 ya. Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih ADUN Tenggaroh untuk jawapan soalan nombor 9. Keindahan pulau-pulau di perairan Mersing iaitu Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Tengah, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur sememangnya telah menjadi salah satu daya tarikan utama pelancongan dari domestik dan juga antarabangsa untuk datang ke negeri Johor amnya dan daerah Mersing khususnya. Terdapat dua kemudahan jeti terminal utama iaitu Jeti penumpang di daerah Mersing yang menjadi pintu masuk menerusi jalan air ke pulau-pulau di perairan Mersing termasuklah ke Pulau Tioman, Pahang iaitu jeti Mersing dan Jeti Tanjung Leman.
Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi secara berterusan sentiasa mempertingkatkan usaha untuk terus memastikan daerah Mersing, khususnya pulau-pulau di perairan Mersing mampu untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri Johor. Rancangan kerajaan negeri Johor untuk meningkatkan balik penggunaan jeti Mersing adalah memastikan jadual feri adalah tetap supaya penumpang dapat merancang perjalanan mereka. Dengan ini, seperti apa yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, projek pemecah ombak di muara Sungai Mersing akan dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM300 juta. Selain itu kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur iaitu ECERDC telah menetapkan matlamat untuk menjadikan daerah Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul dan mampan di negeri Johor. Berkonsepkan dari hutan hujan ke terumbu karang atau From Rain Forest To Reef atau ringkasnya R2R dengan izin. Konsep R2R ini merangkumi semua produk aset dan pembangunan dari Taman Negara Endau Rompin hinggalah ke kawasan pantai, pulau dan terumbu karang di perairan Mersing. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan sepertimana berikut:
1. Pembangunan pelancongan Kampungstay Kampung Air Papan dan pantai Teluk Buih. Di mana antara komponen pembangunan termasuk pembinaan chalet serta menaik taraf rumah pengusaha homestay dan kemudahan pelancongan serta latihan kemahiran usahawan kepada peserta di bawah program pembangunan modal insan ECER.
2. Pembangunan pelancongan Tanjung Penyabong. Kawasan ini merupakan salah satu pusat pelancongan berasaskan makanan laut yang menyediakan ruang niaga makanan laut, jeti tambakan, jeti pelancongan serta kawasan rekreasi yang lebih tersusun dan moden. Pembangunan ini akan meningkatkan pendapatan para nelayan dan penduduk tempatan serta mewujudkan peluang keusahawan kepada peniaga-peniaga makanan laut di Tanjung Penyabung. Kerja-kerja fizikal oleh ECER telah pun bermula dan dijangka siap pada bulan Mei 2019.
3. Seterusnya adalah menaik taraf jeti Sungai Jemaluang.
4. Adalah pembangunan kepulauan Mersing. Bagi meningkatkan keselesaan pelancong, kerajaan negeri akan menjalankan penambahbaik kemudahan penduduk setempat dan ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada mereka. Pulau-pulau yang terlibat adalah Pulau Besar, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu, Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Pembinaan pusat informasi dan perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar iaitu
PIPTLSI di Pulau Besar yang berfungsi sebagai RTC iaitu Pusat Transformasi Luar Bandar bagi masyarakat setempat di kepulauan Mersing akan menjadi salah satu tarikan utama pelancong kepulauan Mersing.
Dan seterusnya saya amat yakin dengan ada inisiatif ini bukan sahaja akan mentransformasikan dan mengukuhkan lagi daerah Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul di negeri ini tetapi juga menyumbang kepada sosial ekonomi kepada penduduk Mersing termasuklah para peniaga dan pengusaha hotel. Sekian, terima kasih.
Jemput, Tenggaroh.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO untuk jawapan. Jelas daripada jawapan EXCO kita nampak banyak bantuan untuk meningkatkan pelancong di daerah Mersing. Tetapi bila kita tengok keadaan jeti sekarang di Mersing khususnya jeti Mersing, keadaan dia dah uzur kalau kita hendak lebih ramaikan pelancong, keadaan dia nampaknya uzur, kerusi-kerusi dah rosak, tandas pun tidak mencukupi. So, saya hendak bertanyakan adakah kerajaan negeri ada perancangan untuk membaik pulih jeti yang sedia ada? Sebab jeti yang sedia ada pun dia digunakan untuk dua fungsi, satu jeti sebagai jeti penumpang dan juga jeti kargo. Bila dia jadi jeti kargo, pelancong datang tidak sedap sebab barang-barang di tengah ni. Adakah dia akan separate benda ini dengan izin, atau dan baik pulih jeti tersebut? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih ADUN Tenggaroh. Saya fahami apa yang telah dihadapi oleh yang berlaku di jeti Mersing sekarang ni, di mana jeti itu termasuk kargo dan juga penumpang. Seperti apa yang dimaklumkan, Majlis Daerah dan Pejabat Daerah Mersing sedang menjalankan Pelan Induk Pelancongan bagi daerah Mersing dan ini semua akan menjalankan satu kajian yang keseluruhan, menyeluruh untuk mengkaji balik macam mana kita hendak naik taraf infrastruktur di daerah Mersing. Sekian, terima kasih.
Soalan seterusnya, jemput Yang Berhormat Maharani.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Maharani No. 10.
Sila nyatakan keberkesanan peraturan pengasingan sisa pepejal yang berkuat kuasa pada 1 September 2015 dalam mengurangkan sisa pepejal yang dihantar ke pusat pelupusan sampah dan usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan amalan 3R di kalangan masyarakat bagi mengatasi lambakan sisa pepejal domestik.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Maharani. Ingatkan soalan ini takkan timbul. Akhirnya, naik juga. Sampah, sampah, sampah. Hari-hari cerita tentang sampah. Yang Berhormat Tuan Speaker, bermulanya peraturan pengasingan sisa pepejal yang berkuatkuasa pada 1 September 2015. Jumlah peningkatan kadar kitar semula telah mula meningkat. Hal ini dicatatkan daripada peningkatan kadar kitar semula negara pada tahun 2017 adalah sebanyak 21%. Peningkatan bagi tahun 2018 adalah anggaran kepada 24.6%. Namun peningkatan sebanyak 3.6% dalam 2 tahun tidak boleh dikira berjaya. Dan, tidak dapat membantu meringankan beban dan memanjangkan hayat tapak pelupusan yang banyak dirancang menutup dalam 1 hingga 3 tahun. Justeru, kerajaan negeri sedang membuat kajian dengan menubuhkan Majlis Rendah Karbon, maaf Majlis Karbon Rendah Negeri Johor atau Low Carbon Council dan antaranya salah satu fungsi ialah menjalankan program seperti Iskandar Malaysia Eco-life Challengge, IMELC. IMELC merupakan aktiviti pembelajaran murid sekolah yang berkaitan agenda rendah karbon dan memupuk amalan 3R dengan mewujudkan modul pembelajaran kitar semula di peringkat tadika dan sekolah dan telah berjaya implementasi secara berterusan di Wilayah Pembangunan Iskandar dan sebahagian sekolah di luar Wilayah Pembangunan Iskandar. Penglibatan 231 sekolah rendah dan 27,125 murid sekolah telah berjaya mencatat 45,540 kg barangan kitar semula sebulan. Selain itu, Majlis Karbon Rendah juga bertanggungjawab merancang program dengan kerjasama dengan NGO dan juga pusat pengajian tinggi serta memantau pelaksanaan secara holistik untuk meningkatkan kesedaran orang
awam terhadap program 3R supaya negeri Johor dapat dibangunkan secara mampan. Tapi 3R ini bukan yang disebut oleh Benut, 3R ini adalah reduce, reuse and recycle. Sekian, terima kasih.
Pekan Nanas.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan perubahan iklim telah mengeluarkan Malaysia Road Map Towards Zero Single Use Plastic 2018 sampai 2030 sebagai saluran untuk mengurangkan kegunaan plastik tunggal dan bekas makanan polisterin. Adakah kerajaan negeri Johor akan mengikut kerajaan persekutuan untuk melaksanakan Malaysia Road Map Towards Zero Single Use Plastic 2018 sampai 2030 yang dipandang akan membawa kesan yang baik kepada masalah sampah di negeri Johor.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan juga Yang Berhormat Pekan Nenas atas soalan yang ditujukan. Walaupun perkara ini ada lari sikit tapi masih ada sangkut paut dengan…
Sisa pepejal, plastik sebagai sisa pepejal.
Soalan-soalan pokok. Ialah, apa-apa pun akan jadi sisa kalau tidak diurus dengan baik. Yang Berhormat Speaker, kerajaan negeri juga telah mengumumkan pelaksanaan penggunaan bahan pembungkusan biorosot halal bagi menggantikan bekas makanan polisterin dan plastik di seluruh negeri Johor berkuatkuasa pada 1 Januari tahun ini. Langkah ini selaras dengan objektif biokompos dan biorosot Johor, BBJ yang dikenalkan oleh kerajaan negeri iaitu untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan pembungkusan berasaskan plastik dan polisterin kepada penggunaan bahan alternatif yang boleh urai dan mesra alam untuk peserta industri sedia ada, pemborong, pengedar dan juga pengguna.
Balik kepada soalan daripada Pekan Nanas, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam melaksanakan Malaysia Road Map Towards Zero Single Use Plastic 2018-2030 supaya mencapai bebas plastik kegunaan tunggal pada tahun 2030.Kerajaan negeri dengan penubuhan Majlis Karbon Rendah menyokong inisiatif kerajaan persekutuan dan sedang membuat kajian dengan menintegrasikan pelan hala tuju BBJ dan Malaysia Road Map Towards Zero Single Use Plastic 2018-2030. Inisiatif reduce akan diusahakan dengan mengenakan caj pencemaran supaya matlamat mengurangkan sisa pepejal dan memastikan pembangunan mampan negeri Johor dapat dicapai. Bagaimanapun, untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menjayakan program ini hanya mengenakan caj pencemaran,Di mana, kerjasama daripada segenap masyarakat adalah sangat-sangat penting untuk menjayakan program 3R ini. Ini disebabkan program-program dijalankan di sekolah seperti kata pepatah, ‘melentur aur biarlah dari rebungnya’. Jadi dan hakikat sekarang bahawa ibu bapa yang dengar kepada cakap-cakap anak bukannya anak yang dengar kepada ibu bapa. Jadi, tepatlah program untuk melaksanakan program-program pendidikan di sekolah dan di tadika-tadika. Dengan ini, hanya akan kita laksanakan segala road map atau segala pelan yang telah dirancang, dirancangkan. Sekian, terima kasih.
Jemput, Bentayan.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Bolehkah YB EXCO jelaskan apakah fungsi Majlis Karbon Rendah selain daripada menjalankan Program Iskandar Malaysia Eco-life Challenge. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Bentayan atas soalan tambahan tersebut. Yang Berhormat Tuan Speaker, tercetusnya idea ataupun cadangan untuk menubuhkan Majlis Karbon Rendah ini adalah terdapat inisiatif yang dijalankan oleh IRDA merupakan inisiatif-inisiatif yang baik. Bagaimanapun, tertakluk kepada kekangan peruntukan perundangan IRDA. Usaha-usaha ini tidak boleh dijalankan di luar daripada kawasan Iskandar Malaysia oleh IRDA. Dan pada peringkat negeri, tiada satu badan atau agensi yang boleh memainkan peranan seperti IRDA untuk menggerakkan inisiatif-inisiatif rendah karbon ini. Maka di sini tercetuslah cadangan untuk menubuhkan sebuah Majlis supaya ada sesuatu badan pada peringkat kerajaan negeri Johor boleh menjalankan atau menggerakkan inisiatif-inisiatif rendah karbon ini. Antara fungsi dan tugas Majlis Karbon Rendah Negeri Johor ini ada 9. Saya sebut seberapa banyak yang mampu supaya, harap Tuan Speaker tidak menyekat dari segi masa.
Contoh sajalah.
1. Menyediakan Pelan Tindakan Komuniti Rendah Karbon Negeri Johor sebagai dokumen
dasar kerajaan negeri.
2. Menyelaras, merancang, memantau dan menggariskan panduan dan hala tuju strategik yang
berkaitan penggalakan, pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan rendah
karbon di peringkat negeri.
3. Mengenal pasti permasalahan dan cabaran yang berkaitan dengan penggalakan,
pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan karbon rendah di peringkat
daerah dan negeri. Dan, mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut.
4. Melantik kumpulan kerja pakar mengikut keperluan bagi memacu program pendidikan,
penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan karbon rendah di negeri Johor.
5. Mengemukakan laporan berkala terhadap kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan
mengenai pelaksanaan program penggalakan pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan
pembudayaan rendah karbon di negeri Johor.
6. Menjalin hubungan dua hala dengan badan agensi dan pihak swasta dari dalam dan luar
negara untuk mendapatkan maklumat berguna dan merintis kerjasama dalam
melaksanakan program penggalakan pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan
pembudayaan rendah karbon di negeri Johor.
7. Mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan pelbagai pihak
yang lain untuk melaksanakan penggalakan pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan
pembudayaan rendah karbon di negeri Johor.
8. Mengenal pasti berbagai bidang atau industri rendah karbon yang berpotensi menjadi
sumber ekonomi kepada negeri.
9. Mengadakan sesi perbincangan dan taklimat dengan pelbagai peringkat masyarakat,
akademik, pendidikan, usahawan, industri dan badan bukan kerajaan untuk
mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai pelaksanaan program
penggalakan pendidikan, penyelidikan, pembangunan dan pembudayaan rendah
karbon di negeri Johor.
Itulah 9 fungsi dan tugas yang dicadangkan buat sementara waktu dan perkara ini akan ditingkatkan, ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan semasa masyarakat. Sekian, terima kasih.
Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Seperti sedia maklum bahawa berkenaan sisa plastik. Pihak Kementerian, KPKT telah mengeluarkan satu pengumuman menghentikan kelulusan AP bagi sisa plastik yang kotor. Tetapi kita juga dimaklumkan bahawa KPKT tidak ada halangan untuk sisa plastik yang bernilai tinggi, homogeneous dan bersih. Ingin Jementah mengetahui apakah sebenarnya sisa plastik bernilai tinggi, homogeneous dan bersih ini? Mohon Yang Berhormat EXCO beri sedikit pencerahan berkenaan perkara ini. Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Jementah atas soalan berkenaan dengan industri kitar semula plastik dan soalan yang diberikan fokus adalah lebih kepada sisa import. Sebenarnya di Johor, sebenarnya ada satu statistik tapi tidak dijangka soalan ini akan timbul. Saya harap, Speaker boleh bagi masa sikit saya cari-cari. Tiada.
Masa dah lewat ni Yang Berhormat.
Sebab sebenarnya perkara ini dipersoalkan oleh Yang Berhormat Jementah dalam satu soalan lisan.
Kalau boleh bertulis pun boleh juga Yang Berhormat.
Jadi saya rasa untuk tidak membuang masa, saya akan menjawab pada Yang Berhormat Jementah secara bertulis.
Terima kasih Yang Berhormat. So, sekarang sudah pukul 11.00. jadi, saya kira kita pun dah 10 soalan pada pagi ini kita selesai setakat ini. Yang Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memohon membawa Rundingan di Bawah Peraturan Tetap 29 (1) supaya ditangguhkan Mesyuarat Dewan Negeri, bagi maksud hendak membahaskan suatu perkara yang tertentu mustahaknya kepada am iaitu mengenai kepentingan untuk mengekalkan Pulau Kukup sebagai Taman Negara dan dengan ini saya menyerahkan kenyataan bertulis perkara yang hendak dibahaskan kepada Yang Berhormat Speaker.
Boleh bawa kepada saya? Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya telah meneliti kenyataan Rundingan yang dibawa oleh Yang Berhormat Senggarang dan saya dapati Rundingan ini memenuhi Peraturan Tetap 29(1) iaitu ia adalah Perkara Yang Tertentu Khas Untuk Tertentu Mustahak Kepada Am, yang melibatkan rakyat ramai dan perlu disegerakan.
Kenyataan ini berbunyi eh, Senggarang dengan ini mengusulkan isu berkenaan dengan Taman Negara Pulau Kukup. Senggarang memohon agar menimbang semula berkenaan pengguguran status Taman Negara ke atas pulau tersebut. Taman Negara Pulau Kukup merupakan satu destinasi ekopelancongan yang terkenal di seluruh dunia dan memainkan peranan pentingnya dalam sistem ekologi. Rakyat merasa gusar dengan perkara yang berlaku di atas pengguguran status tersebut. Justeru, usul ini dibawa ke Dewan yang mulia ini agar Majlis Mesyuarat Kerajaan yakni MMK mengambil maklum dan mengkaji semula status semula tentang status Taman Negara Pulau Kukup. Oleh yang demikian, di bawah peraturan Tetap 29 (2) Rundingan tersebut perlu disokong tidak kurang daripada 10 orang Ahli Dewan. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyokong Rundingan tersebut diminta bangun di tempat duduk masing-masing. So, lebih dari 9 ya, lebih dari 9. Ok, terima kasih. Oleh kerana mendapat sokongan lebih daripada 9 orang Ahli Yang Berhormat, Rundingan ini kita bolehlah dibawa selepas ini. Dewan ini ditangguhkan maknanya perbahasan akan dibuat selepas ini. Kita berehat 20 minit sehingga pukul 10.25, minta maaf 11.25. Sekian.
Persidangan ditangguhkan pada pukul 10.25 pagi.
Persidangan disambung semula pada pukul 11.25 pagi.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat seperti mana yang saya sebut sebelum berehat tadi, kita akan meneruskan Perbahasan Rundingan yang telah dikemukakan oleh Senggarang. So, saya hanya membenarkan 3 orang sahaja yang berbahas termasuk daripada Senggarang mengenai Rundingan ini dengan diberi masa 10 minit sahaja bagi setiap pembahas. Makna Senggarang akan berucap 10 minit kemudian dia akan dibahaskan oleh 2 orang lagi daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat, dipersilakan Senggarang.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Senggarang melihat pengguguran status Taman Negara kepada Pulau Kukup ini telah mengundang kegusaran yang ketara dari rakyat, sehinggakan ada di antara mereka yang membuat petisyen sebagai bantahan di atas pengguguran status tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Kukup merupakan sebuah khazanah negara yang menjadi perhatian di peringkat antarabangsa sehingga diberi status RAMSAH Dunia. Melalui maklumat daripada pihak NGO dan rakan umum, ia merupakan suatu pengiktirafan yang sepatutnya dikekalkan agar segala keunikan pulau itu terpelihara di bawah status Taman Negara.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selama ini Pulau Kukup adalah tempat tumpuan pelancong dan ia telah mampu membuat penduduk di sekitar Kukup Laut mampu menjana ekonomi mereka melalui kehadiran pelancong yang singgah di kawasan Kukup Laut sebelum ke Pulau Kukup.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berita yang dikeluarkan di Portal Malaysia Kini bertarikh 4 Disember 2018 yang lalu, telah mengejutkan ramai pihak sehingga ada yang menyalahkan pihak Kerajaan Pakatan Harapan kerana melihat, kerana mereka melihat dalam isu pengguguran status Taman Negara ini adalah di bawah pentadbiran kerajaan hari ini. Namun, usul ini diangkat bagi pihak kerajaan menimbang semula berkenaan dengan status ini agar tuduhan yang dilemparkan kepada pihak Kerajaan Pakatan Harapan dapat dijernihkan. Saya merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri bahawa keputusan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Mac Tahun 2018, bermakna sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.
Selain itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, Senggarang merasakan di gazetment yang telah dilakukan tanpa sebarang Rundingan Umum sebelum ini dan menafikan orang ramai memberi peluang untuk menimbulkan sebarang argumentasi mengenai hal ini berkenaan kepentingan awam. Beberapa argumen mengenai mengapa taman itu tidak sepatutnya dibatalkan adalah pertama, ia ditubuhkan pada tahun 1997, di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989, Taman Negara Pulau Kukup yang berjumlah 647.5 hektar merupakan Pulau Mangrove kedua terbesar di dunia. Taman itu yang merupakan komponen penting dalam rangkaian kawasan konservasi di Malaysia dan peringkat global.
Yang kedua, ia ditakrifkan sebagai Wetland of Important International dengan izin, RAMSAH Site pada tahun 2003 dan membentuk jantung wilayah burung penting pesisir pantai barat daya (IBA) yang ditetapkan pada tahun 2004. Penarikan balik perlindungan undang-undang akan membuka jalan bagi pembangunan skala besar pulau itu. Ini mungkin menyebabkan kehilangan biodiversiti, dengan izin dan kerosakan ekosistem yang kritikal dengan kesan buruk pada peringkat tempatan, nasional dan global. Pada peringkat tempatan contohnya, stok ikan kita akan terjejas kerana bakau adalah tempat pembiakan untuk banyak spesies ikan komersial.
Ketiga, tindakan ini bertentangan langsung dengan Dasar Kebangsaan Malaysia sendiri mengenai biologi kepelbagaian 2016 – 2025 sebagai contoh, Perkara6 dasar menyatakan bahawa menjelang 2025, sekurang-kurangnya 20% kawasan daratan dan perairan dalam pendalaman dan 10% kawasan persisiran pantai serta marin dipelihara melalui sistem kawasan perlindungan dan pemuliharaan.
Keempat, tindakan ini juga bertentangan dengan beberapa perjanjian biodiversiti pelbagai hala yang telah ditandatangani seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), Konvensyen mengenai Wetland of Important International dengan izin, Konvensyen RAMSAH dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCCC).
Kelima, dari perspektif geopolitik lokasi Pulau Kukup di Pintu Selatan ke Selat Melaka serta kedekatannya dengan Singapura dan Indonesia bererti bahawa sebarang pembangunan di sana mempunyai pelbagai implikasi termasuk ketegangan hubungan dua hala dan pencemaran persempadanan perairan dan Navigasi kapal.
Yang Berhormat Tuan Speaker, justeru itu, Senggarang mencadangkan usul ini dibawa Rundingan ke Dewan yang mulia ini agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yakni MMK mengambil maklum dan mengkaji semula tentang status Taman Negara Pulau Kukup. Sekian, Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Jemput, untuk pembahas seterusnya, Tenang.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Tenang ingin memberikan pandangan berkenaan kenapa Pulau Kukup perlu dikekalkan sebagai Taman Negara. Pulau Kukup adalah khazanah negara. Satu daripada 5 tapak RAMSAH di Malaysia. Pulau Kukup adalah kawasan hutan bakau yang kedua terbesar di dunia. Saya mengulangi fakta yang disampaikan oleh Senggarang sebab ini penting, RAMSAH adalah pengiktirafan di bawah Konvensyen Tanah Lembap Bangsa-Bangsa Bersatu. Pulau Kukup ini telah digazetkan sebagai Taman Negara pada tahun 1997, yang mana luas Taman Negara berkenaan 647 hektar diliputi 800 hektar kawasan lumpur mud flat
disekelilingnya. Sepatutnya Negeri Johor perlu berbangga kerana Pulau Kukup telah menaikkan nama Johor di peringkat antarabangsa. Pulau Kukup merupakan kawasan alam semula jadi bagi haiwan khususnya burung-burung yang berhijrah antara satu negara ke satu negara. Burung-burung ini menjadikan Pulau Kukup sebagai tempat persinggahan mereka sebelum berhijrah ke tempat lain. Pulau Kukup juga merupakan hutan bakau yang berfungsi sebagai penampan dan pelindung daripada hakisan dan ombak di kawasan berkenaan. Tenang setuju dengan misi Perbadanan Taman Negara Johor iaitu mengurus dan mengekalkan biodiversiti dan alam sekitar semula jadi di Taman-Taman Negara Johor dan Tapak RAMSAH di negeri Johor mengikut satu pengurusan bertaraf antarabangsa melalui konservasi, penyelidikan, pendidikan, ekopelancongan dan pengurusan cemerlang. Tenang juga memegang moto Perbadanan Taman Negara,Pulihara Alam Sekitar Demi Masa Depan. Oleh itu, Tenang menyokong usul yang dibawa oleh Senggarang untuk dibawa ke Dewan yang mulia ini, agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) mengambil maklum dan seterusnya mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Ok, pembahas seterusnya kalau ada, silakan Bukit Naning.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pulau Kukup sebagai kawasan ekosistem yang penting. Bukit Naning berpandangan bahawa Pulau Kukup mempunyai kepentingan ekosistem di mana ia merupakan tempat pembiakan ikan, udang, ketam, siput, kerang dan burung-burung. Pulau ini juga dipenuhi dengan sistem tumbuhan, tanah lembap yang menarik. Keunikan kehidupan flora dan fauna pulau ini perlu dikekalkan sehingga pulau ini akan terus menjadi destinasi pelancongan. Bahkan usaha-usaha perlu dilakukan untuk menyuburkan kehidupan flora dan fauna di pulau ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pulau Kukup terletak di lokasi di mana ia menjadi sebagai perisai, penampan ribut monsun barat daya dan sebagai penahan ombak Selat Melaka. Dengan keberadaan pulau ini Ia telah menyelamatkan tanah semenanjung sebahagian selatan daripada tiupan ribut dan mengurangkan masalah hakisan pantai. Sekiranya tiada usaha untuk mengekalkan keadaan semula jadi muka bumi Pulau Kukup ditakuti membawa masalah yang baharu seperti ribut dan hakisan pantai. Masalah hakisan pantai terbukti berlaku di pantai di Tanjung Piai di mana kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk mengatasi masalah tersebut. Punca masalah hakisan pantai tersebut apabila berlaku gangguan keadaan semula jadi pantai yang berlaku di kawasan tersebut, perkara ini tidak sepatutnya berulang dengan membiarkan Pulau Kukup ini, dicemarkan oleh pembangunan sekiranya status taman negara ini tidak dikekalkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Naning berpandangan bahawa persediaan kerajaan untuk berhadapan dengan Tahun Melawat Johor 2020 pastinya akan menjadi pincang dengan menggugurkan status Taman Negara di Pulau Kukup. Sepatutnya, Pulau Kukup dikekalkan untuk menarik perhatian pelancong ke kawasan tersebut bagi mendapatkan hasil kerajaan. Destinasi pelancongan yang baik dan masyhur di dunia akan menjadi berkurangan apabila keadaan status taman negara ini digugurkan. Ini akan menjejaskan tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini. Dengan ini Tuan Speaker, Bukit Naning menyokong cadangan Senggarang untuk di bawa ke Dewan yang mulia ini, agar Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) mengambil maklum dan mengkaji semula tentang status Taman Negara Pulau Kukup. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih. Saya kira selesai sudah tiga orang Ahli berbahas pada pagi ini. Rundingan ini dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju rundingan ini dipersetujukan.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018.Bill
Ahli-Ahli Yang Berhormat sambungan perbahasan atas rundingan bagi bacaan kali yang kedua Enakmen Perbekalan (2019) Tahun 2018 disambung sekarang. Saya persilakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah wasyukrilillah. Pertamanya saya ingin merasakan rasa kesyukuran kerana berpeluang untuk menyampaikan penggulungan di Dewan yang mulia ini. Dan terlebih dahulu
bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Yang diPertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim yang ke-60 pada November lalu patik mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dipanjangkan usia dan negeri Johor kekal aman, makmur dan rakyatnya hidup dalam bermuafakat yang berpanjangan. Saya, bersama-sama rakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor baru-baru ini. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapalah yang tahu. Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Jawatankuasa Bajet Johor 2019 yang telah berjaya menzahirkan belanjawan dengan tema Menerajui Perubahan Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari sebagai belanjawan pertama kerajaan negeri Pakatan Harapan.
Bajet yang mengambil kira kepentingan tiga teras utama iaitu meringankan beban kos kehidupan rakyat, mereformasi institusi pentadbiran dan politik dan merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, pastinya akan memberi banyak dan kelebihan manfaat kepada rakyat keseluruhannya baik jangka masa pendek dan Panjang.
Ucapan penggulungan saya ini, saya akan menyentuh berkisar dengan portfolio yang telah diamanahkan kepada saya sebelum ini. Namun demikian, saya juga akan menyentuh serba sedikit perkara-perkara penting yang menyentuh kepada agenda kerajaan negeri secara keseluruhannya. Sidang Dewan yang mulia, belanjawan sulung kerajaan baharu negeri Johor ini, sememangnya ditunggu-tunggu oleh setiap lapisan masyarakat Johor, lebih-lebih lagi kumpulan di seberang sana di pihak pembangkang. Saya cukup yakin, seperti yang kita jangkakan, rakan-rakan pembangkang akan terus mengkritik belanjawan negeri ini. Namun, bagi saya ini bukanlah kritikan sebaliknya apa yang kita dengar sepanjang persidangan Dewan ini, ia seolah-olah ataupun seakan-akan ejekan semata-mata dengan izin. Dengan mengambil istilah-istilah rebranding, copy and paste dan sebagainya daripada idea belanjawan kerajaan terdahulu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, jikalau kerajaan hari ini tidak meneruskan apa-apa program yang baik yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, pastilah kerajaan hari ini akan dituduh dengan pelbagai kecaman. Malah, tuduhan dan kecaman itu akan dikaitkan dengan dasar-dasar yang menggambarkan kerajaan baharu ini mengabaikan rakyat. Namun, apabila kerajaan hari ini meneruskan program-program kerajaan terdahulu dengan pakej-pakej penambahbaikan yang kami lakukan, kami dikatakan meniru pula. Jadi, bagi saya, apa pun yang kita lakukan pasti tidak akan disenangi oleh rakan-rakan pembangkang. Maka, kerana itu, saya katakan ini semua hanyalah seakan-akan ejekan semata-mata. Ibarat anak kecil yang merungut-rungut nak mendapatkan gula-gula. Jika, kita mahu membalas ejekan ini pun, saya rasa tiada gunanya. Kerana, ketika kerajaan terdahulu pernah menciplak langkah-langkah kerajaan negeri pembangkang.
Pada ketika itu seperti khidmat bas percuma, pemberian air percuma dan yang seumpama dengannya. Kami pada ketika itu, amat mengalu-alukan langkah itu, sebab apa, kerana ianya sememangnya memberi keuntungan dan manfaat kepada rakyat. Jadi, apa guna kita bersikat dengan izin childish yang akhirnya rakyat akan mentertawakan kita sendiri. Malulah saya rasa. Justeru, saya ingin mengajak semua rakan-rakan khususnya di sebelah pembangkang sana agar berhati-hati apabila mengejek pihak kerajaan. Jangan sampai ibaratnya dikatakan orang meludah ke langit, akhirnya terkena batang hidung sendiri. Marilah menjadi pembangkang yang konstruktif dalam membina kemajuan demi kebaikan masyarakat. Saya, secara peribadi tidak peduli, dari mana sekali pun dasar-dasar dan cadangan-cadangan yang baik, polisi-polisi yang baik itu dari mana pun ia datang, kita bersedia untuk mengangkatnya, asalkan ia baik untuk rakyat. (Dewan bertepuk).
Sebaliknya, sikap sekadar berterusan memainkan politik label-melabel, istilah copy and paste, rebranding dan sebagainya seperti mana yang dicanangkan oleh pembangkang hanyalah pada pandangan saya akan merendahkan standard dengan izin, atau peranan pembangkang tidak lagi ke tahap yang tinggi tetapi menurunkan standard itu ke tahap cyber trooper atau keyboard worrior semata-mata yang recehan di luar sana.
Malcom X pernah menyebut ketika hayatnya ‘I have been enough, of someone else propaganda, I’m for truth no matter who tell it and I’m for justice no matter it is for a against dengan izin tidak kira daripada mana kebaikan itu, mutiara itu mesti diambil demi kebaikan rakyat.
Tuan Speaker yang baik hati, antara agenda yang diketengahkan. Senyum ye..
Puji lebih sikit.
Antara agenda yang diketengahkan di bawah portfolio saya merangkumi beberapa inisiatif untuk membantu melatih serta meningkatkan potensi para usahawan di negeri Johor. Khususnya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana yang merangkumi 10.8% daripada jumlah PKS keseluruhannya di Malaysia.
Antara inisiatif yang diketengahkan, pertamanya ialah Pengkomersilan Harta Intelek. Inisiatif ini akan melibatkan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi, kolej serta latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang berada di Johor untuk membantu dan mengkomersialkan harta intelek yang berinovasi tinggi. Usaha ini juga akan disertai dengan usaha-usaha pemadanan perniagaan antara usahawan dengan pemain dalam industri. Langkah ini adalah selaras dengan inisiatif untuk mempercepatkan proses pertumbuhan produktiviti para usahawan kita di negeri Johor.
Kedua, Inisiatif Usahawan Mikro. Inisiatif yang bakal memanfaatkan 300 orang usahawan yang meliputi latihan, bantuan pembelian keperluan mesin dan peralatan serta program-program promosi bagi membantu meningkatkan keberkesanan kempen promosi usahawan mikro dari pelbagai bidang.
Yang ketiga, membangunkan pusat inkubator usahawan. Sebuah pusat inkubator di kawasan Perbadanan Islam Stulang Baru. Pusat ini bakal menempatkan sejumlah 34 unit lot yang akan dapat dimanfaatkan oleh usahawan baru Bumiputera.
Keempat, Misi Jejak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Inisiatif ini adalah misi turun ke padang untuk bertemu dengan para usahawan, untuk memberi bimbingan secara langsung. Misi ini menyasarkan sekurang-kurangnya seramai 200 usahawan dari pelbagai bidang. Misi ini penting. Kerana ia adalah tujuan serampang dua mata. Pertama, kita mahu mewujudkan budaya di kalangan agensi untuk turun bertemu, kenal pasti dan memberi respons penyelesaian secara segera kepada para usahawan kita.
Kedua, kita mahu para usahawan juga responsive dan proaktif dalam menyelesaikan dan membantu memajukan industri mereka. Dengan cara ini, karenah birokrasi akan dapat diminimakan. Inilah asas peranan kerajaan kepada rakyat.
Seterusnya yang kelima, penganjuran Johor Halal Festival. Program khas ini bakal diadakan pada tahun 2019, insya-Allah. Tujuan utama penganjuran Johor Halal Fest ini untuk menambah sebuah lagi platform penting kepada usahawan bagi meningkatkan lagi potensi pasaran perusahaan di peringkat negara dan juga serantau. Penganjuran Johor Halal Fest ini akan menarik bukan sahaja menarik pengunjung tempatan, malah pengunjung-pengunjung antarabangsa. Lokasi Johor yang cukup strategik akan dimanfaatkan demi kita ingin menarik sebanyak mungkin peserta di kalangan usahawan serta minat para pelabur dan pemain-pemain di kalangan multi nasional corporation dengan izin yang bekerjasama membangunkan usahawan Johor yang meliputi pelbagai produk daripada makanan, barangan kosmetik, perkhidmatan halal dan sebagainya. Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 produk akan dapat dihimpunkan dan dipamerkan untuk tujuan jualan. Sesi padanan perniagaan juga akan menjadi sasaran penting dalam Johor Halal Fest ini.
Yang Berhormat Speaker, memetik saranan daripada Yang Berhormat Larkin, untuk maklumat Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor sentiasa mahu memastikan sektor keusahawanan di negeri Johor dapat bergerak maju ke hadapan bagi memastikan usahawan di Johor dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka. Oleh itu, kerajaan negeri Johor melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) melalui Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) telah merancang rangka kerja yang komprehensif bagi memastikan usahawan di negeri Johor benar-benar menjadi usahawan yang betul-betul berjaya. Inisiatif yang berbentuk bantuan dan latihan keusahawanan bagi memberi manfaat kepada usahawan khususnya dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dipandang mudah oleh kerajaan negeri.
Untuk tahun hadapan sahaja, seramai 300 orang usahawan mikro bakal menerima manfaat dari inisiatif usahawan mikro ini. Inisiatif ini merupakan satu galakan bagi memastikan para usahawan dapat terus dibantu dan dibangunkan. Selain itu, kerajaan negeri percaya usahawan di Johor dapat dibangunkan sekiranya kedua-dua belah pihak yakni kerajaan negeri sendiri dan pelabur-pelabur luar dapat kita wujudkan. Kerajaan negeri juga tidak hanya menyalurkan bantuan semata-mata sebaliknya
satu sinergi perniagaan akan diwujudkan contohnya melalui Johor Halal Fest Study yang akan memberi manfaat kepada ribuan usahawan di Johor. Kerajaan negeri percaya melalui festival ini usahawan dapat memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi.
Yang Berhormat Speaker yang baik budi, ingin saya bercakap sedikit berkaitan dengan Ekonomi Kreatif dalam sesi penggulungan ini. Semasa saya menerima portfolio Ekonomi Kreatif yang baru di negeri Johor ini ramai orang tertanya-tanya apa dia Ekonomi Kreatif ini. Sebelum saya mengulas mengenai peruntukan belanjawan dalam Ekonomi Kreatif mahu pun tujuan-tujuannya adalah baik saya rasa saya terangkan apakah dia Ekonomi Kreatif di sini. Dengan penjelasan ini ia akan dapat membantu semua pihak mendapat panduan yang jelas dan dapat terlibat dalam memberi pandangan mereka pada masa yang akan datang. Ada pihak yang mengatakan Ekonomi Kreatif adalah perkara-perkara berkisar tentang kesenian dan kebudayaan. Tengok orang menari, wah cukup kreatif atau ada juga yang selalu mengaitkan Ekonomi kreatif ini berkaitan dengan filem ataupun animasi ataupun multimedia ataupun gamification dengan izin. Tidak kurang juga yang menganggap Ekonomi Kreatif ini adalah gabungan antara seni dan juga teknologi-teknologi digital ataupun IT. Sesungguhnya semua anggapan tersebut tidaklah salah namun pada saya tidak lengkap Ekonomi Kreatif merangkumi semua bidang-bidang daripada kesenian, kebudayaan, warisan, pelancongan, perusahaan dan juga termasuk teknologi. Jabatan Kebudayaan, Media dan Sukan United Kingdom mendefinasikan ekonomi kreatif sebagai industri-industri yang berpunca daripada kreativiti kemahiran atau pengetahuan bakat individu yang berpotensi untuk menjana kekayaan dan mencipta peluang pekerjaan melalui penghasilan dan ekplotasi intelek. Di Malaysia kita ada dasar industri kreatif negara. Apa kata dasar industri kreatif negara, ditakrifkan Ekonomi Kreatif sebagai penggemblengan dan penghasilan kebolehan serta bakat individu atau kumpulan berasaskan kepada kreativiti inovasi dan teknologi yang menjurus kepada sumber keberhasilan ekonomi dan pendapatan tinggi kepada negara dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek karya dan hak cipta intelek selaras dengan budaya dan nilai-nilai murni kepelbagaian kaum di Malaysia. Dengan kata lain apa sahaja penghasilan berdasarkan kreativiti adalah ekonomi kreatif. Ia adalah nilai tambah kepada produk-produk hasil daripada reka cipta seseorang ataupun kumpulan. Yang Berhormat Speaker, agenda Ekonomi Kreatif pastilah akan menjurus kepada realiti revolusi industri 4.0. Pengumuman Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dalam belanjawan baru-baru ini telah dinyatakan bahawa kerajaan akan mewujudkan satu unit khas Ekonomi Kreatif. Penubuhan unit ini adalah bertujuan untuk merancang, menyusun dan melaksanakan pelan dan program-program dengan lebih telus, teratur dan menyeluruh mengikut dasar dan objektif yang telah digariskan oleh kerajaan negeri. Ini merupakan inisiatif awal untuk mengerakkan dan memajukan potensi Ekonomi Kreatif negeri Johor. Selain daripada itu, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar juga telah mengumumkan satu inisiatif untuk merangka pelan tindakan Ekonomi Kreatif negeri Johor. Satu kajian akan dijalankan untuk kita kenal pasti potensi-potensi serta pelbagai maklumat penting sebagai input kepada pelan tindakan Ekonomi Kreatif ini. Seperti yang dijelaskan sehingga kini belum lagi ada mana-mana data dan maklumat yang sistematik dimilikki oleh kerajaan negeri untuk merangka dan merancang pembangunan Ekonomi Kreatif. Yang Berhormat Speaker, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menerangkan dan menyentuh serba sedikit mengenai rasionalnya cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam ucapan belanjawan baru-baru ini mengenai usaha untuk menjalankan satu kajian dalam menghasilkan dengan izin, blue print atau cetak biru untuk Ekonomi Kreatif negeri Johor. Sebelum apa-apa perancangan dan pelaburan dibuat adalah penting bagi kerajaan untuk memiliki maklumat yang lengkap dan jelas bagi menentukan dasar untuk memajukannya. Pembangunan bidang baru ini iaitu Ekonomi Kreatif pastinya memerlukan objektif dan hala tuju yang jelas agar semua pihak baik daripada Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi kerajaan dan rakyat keseluruhannya dapat memahami dan bekerjasama bagi menjayakan agenda ini. Dasar dan matlamat Ekonomi Kreatif ini pastilah untuk kepentingan rakyat. Secara amnya program-program ini akan dirancang dan akan melibatkan peranan daripada pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri mahupun persekutuan. Kerjasama strategik akan digembleng bagi meningkatkan sinergi antara semua pihak.
Yang Berhormat Tuan Speaker yang bijak bestari, izinkan pula saya menjelaskan inti pati program-program di bawah inisiatif Ekonomi Kreatif. Penjelasan saya ini juga akan menyentuh perhatian Yang Berhormat Larkin contohnya, dalam ucapan perbahasan beliau. 2 program di bawah ekonomi kreatif ini yang pertama, Inisiatif Ekonomi Kreatif Johor, Inisiatif Ekonomi Kreatif Negeri Johor. Di peringkat perancangan kerajaan negeri pengisian utama dalam program ini adalah acara kreatif pitching yang tujuan utamanya program ini adalah untuk mengenal pasti bakat dan menarik ke hadapan para pereka cipta, inovator dan penghasil produk kreatif untuk tampil memperkenalkan idea dan produk mereka untuk dibangunkan dan dimajukan. Pemilihan ini akan melibatkan pakar-pakar kreatif dalam bidang industri kreatif dari pelbagai bidang. Pakar-pakar ini akan membantu menilai idea dan produk yang akan diketengahkan oleh pereka cipta Johor dan seterusnya mereka yang terpilih akan dibantu menerusi geran yang telah disediakan. Geran-geran ini pastilah meliputi bantuan untuk latihan di dalam mahupun di luar negara serta bantuan pembelian peralatan yang diperlukan untuk memajukan produk-produk kreatif mereka. Kita mensasarkan sekurang-kurangnya di peringkat awal ini 20 pereka cipta atau usahawan kreatif akan memperolehi manfaat daripada geran ini. Kami sebagai kerajaan sememangnya bersetuju dengan kenyataan Yang Berhormat Larkin, bahawa pemberian geran sahaja pastilah tidak memadai. Kita juga tidak mahu melahirkan budaya dengan izin grant junkis ataupun penagih-penagih ini di kalangan pihak-pihak yang tidak ataupun kurang serius. Maka di sini telah saya gariskan bahawa pemberian geran-geran kepada pereka cipta dan usahawan kreatif ini akan ditambah baik daripada modul kerajaan sebelum ini. Ciri-ciri penambahbaikan ini meliputi pemilihan oleh pakar-pakar dalam sektor industri kreatif. Ini bagi memastikan pemberian geran bukan berdasarkan pilih kasih ataupun favouritesime dengan izin ataupun secara selektif. Pakar ataupun panel pakar mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang mereka dan ini akan membantu mengenal pasti mereka yang benar-benar berbakat, yang benar-benar komited dan serius dengan usaha-usaha kreatif yang mereka lakukan. Maka risiko pertama ialah pemilihan usahawan yang selektif dapat kita hindarkan. Yang kedua geran-geran yang akan ditawarkan ini adalah juga berdasarkan cadangan pakar samada ia berbentuk geran kewangan, peralatan atau geran latihan intensif kepada mereka yang terpilih. Program latihan intensif ini juga akan melibatkan kerjasama dengan beberapa institusi dalam mahupun luar negara. Kita ambil contoh seperti di Bandung, kalau luar negara di Indonesia, di Singapura, di Thailand dan sebagainya. Latihan ini akan memberi pendedahan terbaik kepada mereka yang terpilih tentang bagaimana potensi sesuatu produk atau perniagaan itu dapat dimajukan. Pendedahan amat penting bagi menyedarkan diri usahawan akan potensi diri mereka untuk maju ke tahap yang tertinggi. Setiap geran yang diberikan akan diselia dan dipantau setiap masa bagi memastikan mereka yang mendapat geran ini benar-benar memanfaatkannya. Perkara ini merupakan aspek terpenting bagi memastikan perkembangan atau dengan izin, progress mereka berjalan dengan baik dan betul. Kerajaan menginsafi adalah menjadi pertikaian oleh mana-mana pihak pun kepada kerajaan dalam memberi fokus untuk setiap pembangunan. Justeru saya mengambil maklum bahawa selain soal kuantiti usahawan yang kita kejarkan kerajaan negeri juga bertanggungjawab untuk memastikan kualiti usahawan atau produk itu akan sentiasa meningkat. Maka semua program-program yang akan saya jalankan akan mengambil kira kedua-dua asas penting yang telah saya sebutkan tadi. Yang Berhormat Tuan Speaker, yang kedua ialah berkaitan dengan hab kreatif. Kerajaan sedang merancang untuk mewujudkan sebuah hab yang menjadi pusat kegiatan berkaitan Ekonomi Kreatif. Pusat ini akan menyediakan ruang pameran, studio reka cipta dan juga mini pentas untuk aktiviti kesenian mahupun forum-forum Ekonomi Kreatif. Untuk tujuan ini kita berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak swasta mahupun agensi negeri atau pusat untuk membantu mewujudkan hab kreatif ini. Kerjasama strategik penting bagi kerajaan negeri kerana ia bukan sahaja akan dapat menjimatkan kos pembangunan malah ia akan dapat membantu mengembangkan lagi jaringan kerjasama erat dengan pelbagai pihak. Jaringan ini akan memberi manfaat kepada para pereka cipta untuk mempromosikan produk kreatif mereka termasuklah sehingga ke peringkat antarabangsa. Saya menghargai sokongan Yang Berhormat Tenang dalam agenda inisiatif Ekonomi Kreatif. Pelan-pelan asas yang kami rancangkan ini pastinya bermatlamatkan jangka panjang. Antaranya kita akan berusaha menyediakan asas yang betul agar pada masa akan datang siapa juga yang akan mewarisi portfolio ini akan dapat meneruskan pembangunan Ekonomi Kreatif degan lancar dan teratur. Saya ulang, siapa juga yang akan datang ini mewarisi portfolio Ekonomi Kreatif akan dapat meneruskan pembangunan dengan lancar dan teratur.
Pada ketika itu kalau bukan saya sekalipun insya-Allah saya tak akan claim ini rebranding dan sebagainya. Ini untuk kesejahteraan negeri dan juga rakyat. (Dewan bertepuk). Dengan asas yang betul ini ia akan dapat terus membantu memajukan ekonomi rakyat dan seterusnya menyumbang kepada KDNK negeri sepertimana pandangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Tenang. Selain itu suntikan peranan Ekonomi Digital juga amat penting. Saya ulang suntikan peranan Ekonomi Digital juga amat penting. Menerusi 2 program induk yang telah saya nyatakan di atas ataupun awalnya tadi inisiatif Ekonomi Kreatif Johor dan juga hab kreatif kesemuanya akan berorientasikan digital. Sebuah direktori kreatif akan diwujudkan dengan kerjasama Digital Johor untuk memastikan segala prasarana digital dapat dibangunkan seiring dengan program Ekonomi Kreatif yang telah kita rangkakan ini. Daripada semua usaha ini ia akan menjadi langkah yang kemas untuk menyediakan Johor pada pelan jangka masa panjang dapat memasuki peta Industri Kreatif Serantau. Macam mana nak masuk peta tu? Lukis aja, atau macam mana. Saya ambil contoh Singapura, Indonesia dan Pulau Pinang telah terlebih dahulu mewujudkan prasarana dan fasiliti untuk memajukan Ekonomi Kreatif mereka. Kota Bandung sebagai contoh kini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai smart city manakala Singapura sebelah saja daripada kita ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai kota seni reka. Pulau Pinang dalam Malaysia juga telah diiktiraf sebagai kota warisan. Kalau kita lihat jiran kita juga Indonesia, Pekalongan telah dikenal di angkat oleh UNESCO sebagai bandar kraf, terkenal dengan gaya hidup dan batik di Pekalongan ini. Saya ingat kita konflik apabila Indonesia kata batik daripada mereka kemudian kita pun terpinga-pinga. Jadi ada kaitan dengan pengkomersialan tadi ataupun IP tadi yang saya nyatakan di awal tadi. Kita lihat Phuket, kita nengok Phuken macam tak ada apa-apa, rupanya Phuket ini diangkat oleh UNESCO dalam aspek gastronomy makanan dan sebagainya. Johor pun banyak juga makanan ada Laksa Johor dan macam-macam lagi. Maka kalaulah kita melihat perkembangan ini saya rasa kita boleh mengangkat Johor juga berada dalam list UNESCO ini seterusnya boleh mengangkat imej Johor ke mata dunia. Kalau kita lihat di mana-mana Benut ke, di Semarang ke boleh diangkat sebagai pekan atau kota apa sahaja yang diiktiraf oleh dunia, ini akan mengangkat nama baik negeri Johor. Dengan pengiktirafan berprestij seperti ini ia bukan sahaja meletakkan Johor dalam carta Ekonomi Kreatif di dunia malah paling utama ia akan merancakkan lagi penghasilan dan kegiatan pereka cipta serta usahawan kreatif di negeri Johor. Manfaat ini pastinya akan melimpah kepada rakyat negeri Johor apatah lagi dari aspek ekonomi apabila pelabur-pelabur luar masuk ke dalam negeri Johor dalam konteks ini. Yang Berhormat Speaker yang bijak bistari, memetik pertanyaan dari ADUN Tenggaroh, YB Speaker : Yang Berhormat, Yang Berhormat, puji itu sekali sahaja. Kalau banyak kali dah nilai tak ada nilai. (Dewan ketawa)..
Ok. Memetik pertanyaan dari ADUN atau pun Yang Berhormat Tenggaroh berkenaan Koperasi Komuniti Johor yang diberikan peruntukan geran padanan berjumlah RM 1 juta. Untuk makluman Yang Berhormat Tenggaroh, Koperasi Komuniti Johor ini merupakan program bagi membangunkan sosio ekonomi bagi masyarakat kampung. Komuniti dan juga kejiranan melalui platform keusahawanan koperasi. Melalui program ini juga, dapat meningkatkan pendapatan dan menciptakan peluang pekerjaan kepada penduduk komuniti berkenaan. Program ini hanya memfokuskan kepada koperasi kecil dan sederhana sedia ada yang berada dalam lokaliti komuniti di setiap daerah di negeri Johor ini merangkumi kawasan bandar dan juga kawasan-kawasan luar bandar. Program ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah geran padanan yang mana koperasi terpilih hendaklah mempunyai kewangan dalaman sebagai komitmen dan kerajaan negeri Johor akan menampung sebahagian sahaja kos projek yang lainnya. Pemilihan Koperasi Komuniti Johor ini akan melalui proses penilaian dan kelulusan oleh Jawatankuasa Perlaksanaan dan Jawatankuasa Induk Program. Syarat dan kriteria bagi mendapatkan geran padanan adalah seperi berikut.
1. Koperasi mestilah berdaftar sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 tahun minimum. 2. Mematuhi perundangan dan juga peraturan-peraturan berkaitan koperasi. 3. Mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan tidak boleh miss, tidak boleh terlepas. 4. Akaun semasa koperasi mestilah diaudit. 5. Telah menjalankan aktiviti perniagaan. 6. Anggota Lembaga Koperasi telah mengikuti kursus-kursus wajib yangt elah ditetapkan. 7. Koperasi berpotensi untuk berkembang melalui aktivis setempat yang mereka utarakan.
Selain Koperasi Komuniti Johor ini terdapat satu lagi inisiatif oleh kerajaan untuk membantu mengerak aktifkan keusahawanan koperasi khususnya di peringkat sekolah. Program khas dinamakan Azam Usahawan Muda Johor atau Johor Young Entrepeneur Strive For Success dengan izin. Program ini melibatkan 11 Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri Johor dengan 272 koperasi sekolah. Saya berharap program ini tentunya memberikan pendedahan awal kepada koperasi-koperasi di peringkat sekolah ini berfokuskan 6 bidang utama koperasi yang telah saya perjelaskan sebelum Dewan baru-baru ini.
Yang Berhormat Speaker, untuk makluman Yang Berhormat, penubuhan Koperasi Iskandar Malaysia Berhad, ImCoop mensasarkan kepada penduduk ataupun masyarakat atau pun golongan B40 di kawasan bandar dan luar bandar melalui pelaksanaan Kedai Harga Patut. Sehingga kini ImCoop telah mempunyai 8 outlet di bawah seliaan sendiri. Manakala 13 outlet yang dimiliki oleh gerakan koperasi melalui model joint venture dengan izin, merangkumi kawasan bandar dan juga luar bandar. Sebagai contoh di kawasan luar bandar, terdapat outlet di FELDA Air Tawar 5, Desa Temu Jodoh Chaah, Kampung Abdul Ghani Othman Pengerang, di Senggarang dan Felda Lok Heng Timur, Kota Tinggi. Manakala di kawasan B40 di bandar pula pembukaan outlet berada di Larkin, di Kota Masai, Setia Tropika, Bandar Universiti dan Batu Pahat telah dapat membantu golongan bersasar untuk memperolehi barang keperluan harian pada harga yang berpatutan tetapi kompetitif. Bagi memberi nilai tambah kepada perniagaan peruncitan yang dilaksanakan oleh ImCoop, kerajaan juga telah melaksanakan program My Farm Outlet. Program ini merupakan program antara yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memfokuskan penjualan barang keperluan basah kepada pengguna seperti ayam, ikan, daging, sayur sayuran dan buah- buahan. Di bawah program ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.01 juta bagi program My Farm Outlet kepada 18 outlet kedai harga patut ImCoop. Selain itu juga kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia juga menyediakan peruntukan RM200,000.00 kepada ImCoop bagi melaksanakan pusat pengedaran bagi memasarkan barang-barang basah. Dengan kewujudan ini, akan dapat memanfaatkan kepada semua outlet ImCoop selain membuka peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk sekitar negeri Johor ini terus berkembang dan mendapat bekalan barang basah dan seterusnya dapat memenuhi keperluan pengguna dengan harga yang berpatutan. Selain itu kerajaan melalui Suruhanjaya juga mempunyai sumber kewangan seperti geran, bantuan pembangunan dan juga tabung modal pusingan yang boleh dimanfaatkan oleh Koperasi Iskandar Malaysia Berhad, ImCoop bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan mereka di masa hadapan.
Selain itu, memetik persoalan dari ADUN, dari Yang Berhormat Tenggaroh mengenai pembaharuan yang akan dibuat oleh kerajaan untuk menjayakan dan merancakkan lagi koperasi ImCoop terutamanya di kawasan luar bandar. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan kepada kedudukan terkini koperasi ImCoop ini, tiada lagi perancangan untuk penambahan outlet cawangan di sekitar negeri Johor. 8 outlet yang sedia ada milikan Koperasi Iskandar Malaysia Berhad, ImCoop akan ditambah baik bagi memastikan keperluan barangan memenuhi permintaan masyarakat setempat sehingga mereka betul-betul stabil. Walau bagaimana pun Koperasi ImCoop terbuka sekiranya terdapat koperasi-koperasi asas dan individu persendirian yang ingin membuka outlet ImCoop ini.
Yang Berhormat Speaker, saya sudah hampir sampai ke akhirnya. Sebagai rumusan kepada ucapan penggulungan saya ini, saya nyatakan dengan jelas dan tegas bahawa kepercayaan rakyat yang diberikan kepada kami akan kami galas dengan penuh amanah dan juga dedikasi. Di bawah portfolio saya telah dijelaskan bahawa iltizam dan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan segala perancangan dan agenda rakyat akan kita laksanakan dengan bersungguh sungguh. Dalam bidang keusahawanan, dasar dan juga agenda ini adalah selaras dengan hasrat belanjawan kerajaan persekutuan yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan November lalu bahawa kita sedang menuju ke arah negara keusahawanan dengan izin, Entrepreneurship Economy. Agenda ini akan meletakkan fungsi kerajaan dan peranan pihak swasta untuk sama-sama bekerja dan melabur dalam sektor keusahawanan. Malah dalam model-model di bawah portfolio saya khususnya, inisiatif Ekonomi Kreatif sebagai contoh, saya akan menerapkan model pembangunan bersama-sama dengan pihak swasta. Ini akan menjadikan sumber-sumber yang ada dapat digunakan dengan berhemah malah kelebihan daripada setiap entiti ini dapat kita optimumkan.
Dalam konteks inisiatif Ekonomi Kreatif, saya bertekad agar rancangan-rancangan yang telah disusun akan digerakkan secara bersepadu dengan kerjasama jabatan, agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan termasuk juga pihak-pihak swasta. Ramuan ini adalah berasaskan matlamat negara yang
sedang menuju ke era Revolusi Industri 4.0. Dalam aspek koperasi saya ulangi sekali lagi, saya merumuskan bahawa, langkah penambahbaikan fungsi koperasi akan dilaksanakan secara teliti dan komprehensif. Usaha penambahbaikan ini akan meneliti dan mengenal pasti aktiviti koperasi yang suam-suam kuku dan bermasalah dan kita akan meningkatkan lagi potensi koperasi yang telah berjaya ke tahap yang lebih baik. Tujuan bagi usaha ini adalah untuk memastikan agenda penubuhan koperasi menerusi aktiviti-aktivitinya benar-benar menuju ke arah objektif penubuhannya yang sebenar. Ini merupakan langkah penting sesuai dengan agenda mereformasikan kesemua keseluruhan institusi bagi memastikan sistem tadbir urus yang cekap, telus dan juga adil
Yang Berhormat Speaker, tugas yang telah di amanahkan ini, insya-Allah akan saya dan seluruh jentera kerajaan negeri melaksanakan dengan sebaiknya. Saya menggesa kepada seluruh anggota kerajaan dan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu melaksanakan agenda murni kita ini. Tetap buluh panjang suluh, mari jolok sarang penyengat, angkat doa jari sepuluh, doa minta biar selamat. Sekian, Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif yang telah panjang lebar menggulung perbahasan pada pagi ini. Seterusnya saya persilakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian. Silakan.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu bersempena dengan sambutan hari Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Jajahan Takluk Johor yang ke-60 November lalu. Patik mengambil kesempatan ini merafak sembah, menjunjung setinggi tinggi Kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan negeri Johor kekal aman, makmur, maju dan rakyatnya hidup bermuafakat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Dato’ Haji Osman bin Sapian atas penganugerahan Darjah Kebesaran Darjah Mahkota Johor Yang Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Mahkota Johor sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan baru-baru ini serta tahniah atas pembentangan Belanjawan 2019 yang begitu inklusif selaras dengan tema “Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari”.
Alhamdulillah Belanjawan Johor 2019 telah menyentuh pelbagai inisiatif khususnya yang melibatkan portfolio Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian. Inisiatif-inisiatif tersebut merupakan usaha dan iltizam kerajaan negeri Johor yang bermatlamat tidak lain tidak bukan untuk menjamin pembangunan negeri yang lebih mampan dalam waktu yang sama ianya dapat memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih sejahtera, bahagia dan makmur. Oleh yang demikian adalah menjadi harapan kami agar inisiatif-inisiatif yang telah Kerajaan Pakatan Harapan Johor sediakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di negeri Johor ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sepanjang sesi Perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat telah memberikan komitmen yang terbaik dan di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas setiap pandangan, cadangan dan juga teguran khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan portfolio saya sebagai EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian. Sehubungan dengan ini, izinkan saya untuk meneruskan sesi ucapan penggulungan dari pihak kerajaan bagi menjawab isu-isu yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Tangkak ada menyarankan supaya Hospital Tangkak di naik taraf bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Untuk makluman Hospital Tangkak adalah merupakan hospital daerah tanpa pakar. Hospital ini menyediakan perkhidmatan perubatan bagi rawatan kecemasan dan trauma, perawatan pesakit dalam dan perkhidmatan sokongan klinikal seperti perkhidmatan farmasi, perkhidmatan pengimejan diagnostik dan perkhidmatan ujian makmal. Purata jumlah kemasukan pesakit adalah 430 orang sebulan. Kadar penggunaan katil adalah 44.79% bagi 69 bilangan katil. Pada masa ini perkhidmatan kepakaran diberikan melalui perkhidmatan pakar atas rawatan yang dilakukan oleh pakar-pakar dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Seiring dengan dasar Kementerian Kesihatan Malaysia, perkhidmatan kepakaran akan ditambah baik dengan melakukan inisiatif Hospital Kluster. Projek Hospital Kluster Johor melibatkan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Hospital Pakar Tangkak, Hospital Tangkak dan Hospital Segamat yang dirancang dilaksanakan pada tahun 2019. Bagi persoalan menaik taraf Klinik Kesihatan Jalan Paya Mas, Tangkak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor
telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Paya Mas sedia ada kepada Klinik Kesihatan Jenis 3 Paya Mas yang baru di bawah Rolling Plan 4. Rancangan Malaysia Ke-11, (RP4, RMK 11), walau bagaimana pun permohonan tidak diluluskan oleh Agensi Pusat. Permohonan projek ini akan diangkat semula di bawah Rolling Plan yang akan datang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Pekan Nenas, sehingga kini di negeri Johor terdapat 3 buah pusat hemodialisis di fasiliti kesihatan iaitu 2 yang beroperasi di Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Kluang dan Klinik Kesihatan Bandar Mas, Kota Tinggi. Manakala sebuah lagi dalam proses pembinaan di Klinik Kesihatan Tenggaroh 2, Mersing. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengalu-alukan cadangan bagi mengubahsuai sebahagian bangunan Klinik Kesihatan Pekan Nanas kepada Pusat Hemodialisis. Perkara ini telah diambil maklum oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh kerana penubuhan Pusat Hemodialisis di fasilitis Klinik Kesihatan memerlukan perancangan yang sangat rapi dan terperinci yang melibatkan kos yang tinggi dan anggota kesihatan yang terlatih. Tindakan memperhalusi perkara tersebut sedang diambil melibatkan keperluan anggota dan sumber-sumber lain.
Untuk makluman Yang Berhormat Layang-Layang dan Semarang kerajaan negeri Johor telah melantik Syarikat Maju Sihat Sdn. Bhd. Sebagaimana pelaksana Program Kad Sihat Johor. Laman web Kad Sihat Johor adalah www.majusihat.com.my. Buat masa ini laman web ini mengandungi pautan senarai klinik-klinik panel yang berdaftar dan borang permohonan klinik sebagai klinik panel. Manakala pautan lain seperti cara membuat permohonan, borang permohonan, pendaftaran online, semak status permohonan, semak kelayakan, manfaat skim dan semakan senarai Pejabat ADUN akan di kemas kini untuk tahun 2019 apabila kelayakan Kad Sihat Johor dilanjutkan kepada mereka di luar senarai e-Kasih dan meliputi lebih ramai golongan B40. Yang Berhormat Tuan Speaker, YB Machap ada mencadangkan agar bantuan kupon perjalanan dikembangkan kepada pesakit buah pinggang yang kebiasaannya mendapat rawatan di pusat hemodialisis sebanyak 3 kali seminggu. Cadangan ini akan dibawa untuk pertimbangan sekiranya pesakit yang berkaitan memenuhi kriteria -kriteria yang ditetapkan selaras dengan tujuan asal program ini dilaksanakan untuk meringankan beban kewangan pada kumpulan sasar. Untuk makluman Yang Berhormat Machap juga Kementerian Kesihatan Malaysia ada menjalankan pemantauan kualiti air di seluruh negeri Johor melalui program kawalan mutu air minum pemantauan ini dilakukan dengan pengambilan sampel-sampel air di stesen pensampelan yang telah ditetapkan bersama oleh syarikat air. Pensampelan air ini diambil pada setiap minggu dan sampel tersebut di analisa oleh Jabatan Kimia Malaysia bagi menentukan kualiti air yang dibekalkan oleh syarikat air. Pada tahun 2018, melalui pemantauan oleh pihak kesihatan kualiti air yang dibekalkan oleh syarikat air mematuhi piawaian QAP kebangsaan yang telah ditetapkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Bukit Naning Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa memantau keadaan semasa penyakit berjangkit yang berlaku di kalangan warga asing di negeri Johor. Pemantauan ini dilakukan melalui beberapa mekanisme seperti saringan kesihatan perubatan FOMEMA. Saringan demam di pintu masuk antarabangsa. Notifikasi penyakit berjangkit daripada klinik kerajaan dan swasta. Bagi pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia mereka perlu melakukan saringan kesihatan sebelum mereka dibenarkan tinggal di sini seperti ditetapkan di bawah Seksyen 9, Seksyen 1 (C) Akta Imigresen 1959, 63 Akta 155 ‘sekiranya pekerja asing didapati menghidap penyakit berjangkit seperti HIV, Tibi, Hepatitis B, Sifilis, Malaria dan Kusta majikan hendaklah menghantar pekerja asing pulang dengan kadar segera dengan memohon memo periksa keluar oleh Imigresen. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin menyentuh alam sekitar yang dibangkitkan oleh YB Senggarang. Bagi aktiviti perlombongan dan kuari yang tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan satu kajian EIA hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar sebagaimana kehendak perintah kualiti alam sekitar. Aktiviti yang ditetapkan penilaian kesan terhadap alam sekitar 2015. Kajian ini perlu dibuat bagi mencegah masalah alam sekitar oleh aktiviti pembangunan serta mengatasi kesilapan yang merugikan dalam perlaksanaan projek. Sehubungan dengan itu, sekiranya laporan EIA bagi cadangan pembangunan itu telah diluluskan oleh jabatan ini. Syarat-syarat kelulusan yang ketat akan diberikan kepada pemaju untuk memastikan impak pencemaran daripada pembangunan yang dijalankan dapat dicegah, dikawal dan dikurangkan. Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar hanya meluluskan Laporan EIA tersebut sahaja dan bukan kelulusan terhadap perlaksanaan projek di mana yang di bawah bidang kuasa pihak yang meluluskan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tujuan utama perlaksanaan projek tebatan banjir adalah untuk mengurangkan masalah dan risiko banjir yang dihadapi oleh orang ramai ataupun kawasan yang terlibat. Sebelum sesuatu projek dilaksanakan beberapa peringkat akan terlibat. Sebelum sesuatu projek dilaksanakan beberapa peringkat akan terlibat termasuklah peringkat perancangan dan reka bentuk ia dijalankan bagi memastikan projek dilaksanakan tidak memberi impak negatif apabila siap. Kenyataan oleh YB Senggarang bahawa projek tebatan banjir yang merosakkan tanaman menjadi isu utama bagi petani tidak dapat dijawab dengan jelas kerana tiada lokasi spesifik yang dinyatakan. Di harap YB dapat memberikan maklumat tentang projek mana yang dimaksudkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran. Seperti maklum projek-projek skim pertanian bersepadu Johor, projek skim pertanian bersepadu Johor barat adalah dengan menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan. Setelah siap projek tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri Johor. Sememangnya kerajaan negeri Johor menyedari masalah yang dihadapi di kawasan ini dan bersetuju agar kajian semula perlu dibuat bagi skim ini kerana diperhatikan ia tidak mampu untuk menampung keperluan masa kini akibat dari perubahan guna tanah, muka bumi dan sebagainya. Memandangkan kawasan tersebut adalah luas dan pelbagai struktur serta komponen yang terlibat meliputi sistem saliran, pengairan, jalan ladang, empangan, bentang pantai jambatan dan sebagainya yang pastinya melibatkan peruntukan yang tinggi. Kerajaan Johor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah pun memohon peruntukan berdasarkan komponen terlibat kepada kerajaan persekutuan. Peruntukan untuk pembaikan benteng pantai misalnya telah diluluskan pada tahun 2018 namun di tangguh sementara bagi dijalankan kajian yang lebih teliti setelah pertukaran kerajaan tempoh hari. Manakala bagi pembaikan perkara lain kerajaan Johor percaya ia akan dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan dari masa ke semasa. Buat masa ini kerajaan Johor menyalurkan peruntukan tahunan kepada JPS untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran, perparitan dan sungai namun untuk menyelenggara setiap tahun semua saliran yang panjangnya melebihi 400 kilometer dalam kawasan Johor Barat pada setiap tahun adalah di luar kemampuan. Tahap kesuburan air yang tinggi yang cepat membiak dalam sungai dan parit yang menyekat aliran air juga menjadi faktor yang membimbangkan. Kesuburan yang tinggi ini dijangka berpunca dari kandungan baja yang tinggi dalam air sungai dan parit tersebut. Sehubungan itu, kerjasama daripada pengusaha aktiviti pertanian khasnya yang berada berdekatan sungai atau parit supaya melakukan pembajaan yang sistematik atau tidak mengalir ke sungai atau parit amatlah dialu-alukan. Begitu juga bagi makluman YB Seri Medan, kawasan Seri Medan terletak dalam skim pertanian bersepadu Johor barat. Pihak kerajaan Johor menyedari masalah yang dihadapi di kawasan ini. Dan, bersetuju agar satu kajian semula perlu dibuat bagi menangani limpahan air yang semakin banyak. Limpahan air ini bukannya berlaku sejak beberapa bulan terakhir ini tetapi telah pun berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini berlaku akibat dari pelbagai faktor termasuklah perubahan guna tanah di kawasan tersebut. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman YB Panti perlaksanaan berkaitan projek tebatan banjir yang harganya berskala besar kebiasaannya dilaksanakan oleh JPS. Manakala bagi pembinaan saliran atau sistem longkang moon soondalam bandar bagi mengelak bagi mengelak banjir kilat di kawasan bandar dilakukan oleh pihak PBT. Longkang tepi jalan oleh JKR dan saliran atau perparitan secara tidak langsung di luar bandar atau dikampung-kampung oleh JPS dan Pejabat Tanah. Oleh itu peruntukkan yang khas oleh kerajaan Johor untuk tebatan banjir dan saliran sebenarnya adalah lebih tinggi berbanding dengan jumlah yang dinyatakan oleh YB. Selain peruntukan dari negeri terdapat juga peruntukan dari kerajaan persekutuan berkaitan perkara ini. Tuduhan yang menyatakan kerajaan negeri tidak mengambil berat masalah perparitan yang tersumbat di kawasan perumahan di bandar mahu pun luar bandar termasuk kawasan FELDA adalah tidak tepat sama sekali. Yang Amat berhormat Menteri Besar dan saya sendiri juga sentiasa turun padang bagi meninjau permasalahan rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya. Walaupun baru mengambil tampuk pemerintahan namun telah banyak isu-isu berkaitan yang telah berjaya diselesaikan. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagaimana hasrat kerajaan negeri Johor untuk menjadikan Johor sebagai pengeluaran makanan utama negara tercapai serta berkaitan pertanian amat dititik beratkan pelbagai inisiatif dan bantuan telah diberikan kepada golongan ini sebagai pendorong agar sentiasa berdaya saing dan menyumbang kepada ekonomi negeri. Justeru itu bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Tangkak, Serom dan Perling mengikut Seksyen 52 KPN 1965 semua tanah telah terbagi kepada 3 kategori iaitu pertanian, bangunan dan industri. Semua pemilik tanah perlu menggunakan tanah mengikut kategori penggunaan tanah dan syarat nyata di dalam hak milik. Bagi
penukaran syarat daripada kategori pertanian kepada industri pihak berkuasa negeri akan mengenakan bayaran premium tambahan ke atas pemilik tanah. Ini merupakan salah satu usaha bagi mengekal isu tanah pertanian yang semakin berkurangan. Selain daripada itu semakan ke atas zonning ke atas kawasan tersebut dibuat agar tidak bercanggah dengan zon yang sedia ada sebelum ubah syarat kategori tanah diluluskan PBN. Selain itu bagi memaksimumkan penggunaan tanah pertanian di negeri Johor terutamanya tanah-tanah terbiar kerajaan telah mewujudkan bajet pembangunan tanah terbiar semenjak RMK ke-9 dan masih diteruskan sehingga kini. Objektif utama projek ini adalah bagi mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah yang terbiar, meningkatkan pengeluaran makanan dan memberikan peluang kepada petani untuk menjalankan aktiviti pertanian dan seterusnya menambah akan pendapatan petani. Pihak kerajaan akan sentiasa komited bagi melonjakkan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penyumbang terbesar kepada KDNK negeri Johor. Galakkan kepada golongan muda serta penggunaan teknologi moden dalam sektor ini dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk berasaskan pertanian. Berhubung dengan program pertanian bandar ia merupakan satu aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian yang telah bermula sejak tahun 2014. Pembangunan program pertanian bandar telah kita laksanakan setiap tahun di mana Jabatan Pertanian bertanggungjawab memberi perkhidmatan, perkembangan dalam membangunkan program yang tersebut. Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak kerajaan negeri menyambut baik cadangan daripada kerajaan persekutuan bagi menjadikan daerah Segamat sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) penglibatan ECER di daerah Segamat dilihat berpotensi membangun akan daerah Segamat terutama dari segi sosial ekonomi masyarakatnya. Bagi makluman YB Buloh Kasap, pihak ECER telah mengemukakan beberapa cadangan utama yang akan di bawa ke daerah Segamat. Pelan Tindakan Segamat Bio Agro Valley telah dicadangkan bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan di daerah ini. Antara faktor utama bagi daerah Segamat adalah menjadikan Segamat sebagai hab bio teknologi dan perniagaan negeri, pusat pendidikan, hab logistik, Bekok, Labis Chaah, Tourism, Triangle dan Kluster Perindustrian. Selain daripada itu, pihak ECER juga telah merancang bagi memperbanyakkan model modal insan, pelan tindakan bagi menangani banjir dan meningkatkan kualiti pengangkutan. Pihak ECER juga telah mempunyai beberapa pakej insentif yang menarik kepada pelabur-pelabur yang berhasrat untuk membuat pelaburan di daerah ini. Hal ini diharapkan akan menarik minat pelabur untuk melabur terutamanya dalam bidang pertanian di daerah Segamat. Semua program dan projek yang akan dilaksanakan di daerah Segamat diharapkan dapat merapatkan jurang di antara daerah Segamat dengan daerah-daerah lain di negeri Johor. Pendekatan secara holistik ini juga disokong dengan pelan pembangunan hab pertanian dan industri asas tani daerah Segamat yang lebih memfokuskan projek-projek yang boleh memberikan impak tinggi kepada sektor pertanian di daerah Segamat. Yang Berhormat Tuan Speaker, pada tahun 2017 pemberian permit import AP oleh MOA melalui MAQIS kepada pemborong, pembekal untuk mengimport kelapa khususnya dari Indonesia adalah bagi menampung kekurangan bekalan kelapa tempatan yang tidak mencukupi terutama penggunaan di musim perayaan bertujuan menstabilkan harga kerana timbul isu kenaikan harga santan pada ketika itu. Walau bagaimanapun AP untuk mengimport kelapa kelapa biji diberikan hanya kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Pertanian Persekutuan (FAMA) serta kepada kilang atau syarikat tempatan yang menghasilkan produk kelapa seperti santan kotak dan serbuk. Asalnya produk-produk ini dieksport ke luar negara seperti Cina, seperti yang kita sedia maklum juga rakyat negeri ini memilih santan asli bukannya santan kotak dan santan serbuk. Oleh yang demikian bagi makluman YB Senggarang lambakan kelapa mungkin berlaku kerana peraturan ini buah kelapa tempatan boleh diperolehi dengan banyak, disebabkan oleh musim kemarau yang panjang membolehkan kelapa dikutip sepanjang masa. Kuantiti kelapa import yang banyak dan harganya yang rendah juga mungkin menyebabkan berlakunya lambakan kelapa tempatan. Walau bagaimanapun siasatan yang terperinci perlu dilakukan kerana terdapat kes di mana lambakan kelapa tempatan hanya berlaku kepada gred C dan gred reject yang telah bercambah sahaja. Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi makluman Yang Berhormat Sungai Balang kerajaan negeri tidak pernah sama sekali mengetepikan golongan petani. Peruntukan yang telah pun diumumkan di dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini hanyalah sebahagian daripada projek yang dipilih. Sebagai fokus utama di dalam pelaksanaan kepada tahun hadapan. Walau bagaimanapun ada lagi projek-projek yang masih diteruskan untuk golongan petani dan pekebun kecil. Antaranya adalah projek pembangunan industri pengeluaran tanaman makanan utama negeri Johor. Pembangunan
komoditi berpotensi dan sawah padi Johor. Pembangunan tanah terbiar, pembangunan usahawan industri asas tani, projek fertigasi, pembangunan pertanian lestari dan program galakan peningkatan pengeluaran pertanian. Ini pihak pembangkang ini akan cakap copy and paste pada hal kita sedia maklum bahawa apa pun program, apa pun projek yang penting untuk rakyat untuk kebaikan rakyat insyaAllah kita akan teruskan. (Dewan bertepuk). Menyentuh mengenai projek belia tani, ia adalah khusus untuk golongan belia yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Pendekatan program ini ialah bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan berasaskan aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan industri asas tani. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman YB Senggarang, banyak betul YB Senggarang tanya saya ni. Seperti dalam Laporan Dasar Kelestarian Negeri Johor 2017 - 2021 betta persephone adalah sejenis ikan laga yang berstatus sangat terancam dan merupakan spesies yang endemik di hutan Simpan Air Hitam Utara. Hutan Simpan Air Hitam Utara merupakan kawasan hutan tanah hanya merangkumi lebih kurang 7% daripada rangkaian asal hutan paya gambut di negeri Johor. Selebihnya telah ditukar kepada kegunaan pertanian. Pelbagai usaha boleh dan telah dilaksanakan dengan bantuan daripada pelbagai agensi dan sokongan daripada kerajaan negeri, misalnya melaksanakan hutan simpanan, usaha pemeliharaan dan mengamalkan pengurusan sumber air dan alam sekitar yang berkesan. Usaha sedemikian akan membantu habitat asas spesies tersebut. Yang Berhormat Tuan Speaker, dianggarkan bahawa seluas 5,544 hektar telah dikenal pasti berpotensi untuk ternakan kerang di seluruh Johor melibatkan 3 daerah utama iaitu Pontian, Batu Pahat dan Muar. Kerang-kerangan lagi ni, mesti ada yang marah, kerang ajelah. Projek ternakan kerangan ini dicadangkan dengan nama Estet Kerang Johor yang akan melibatkan nelayan dan masyarakat setempat dengan pelaksanaannya mematuhi Peraturan-Peraturan Perikanan Sistem Kultur Laut 1960 dan Peraturan-Peraturan Perikanan Pemuliharaan dan Perkulturan Kerang 2002. Untuk merealisasikan projek Estet Kerang Johor pelan pembangunan yang komprehensif dan kerjasama strategik berbagai agensi telah ditubuhkan seperti mana yang disarankan oleh YB Pulai Sebatang. Yang Berhormat Tuan Speaker berkaitan isu menangani masalah anjing liar yang dibangkitkan oleh YB Tanjung Surat. Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa PBT Pengerang, di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau diwartakan di bawah Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah mengambil langkah memberhentikan, memusnahkan dan menghapuskan segala kacau ganggu dari jenis awam dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan itu pada premis awam atau persendirian dan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap sesuatu yang melakukan mana-mana kacau ganggu bagi menghapuskan dan juga bagi mendapatkan ganti rugi. Walau bagaimanapun pihak Jabatan Veterinar Negeri Johor akan memberikan bantuan dan kerjasama sewajarnya jika pihak PBT memohon bantuan dalam setiap operasi penangkapan anjing liar ini. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagaimana sedia maklum Jabatan PERHILITAN merupakan sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam menguruskan konflik manusia hidupan liar sebagaimana peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Pihak jabatan mengkategorikan 3 spesies hidupan liar utama yang sering menimbulkan konflik terhadap manusia iaitu konflik gajah. Kaedah yang digunakan oleh pihak jabatan dalam menangani konflik gajah liar adalah tembak halau atau untuk menghalau gajah liar memasuki hutan simpan iaitu habitat semula jadi gajah ini tangkap pindah, bagi gajah yang menimbulkan ancaman keselamatan kepada manusia dan jauh daripada hutan simpan dan sebagainya. Konflik babi, kaedah tembak mati dan tangkap babi merupakan kaedah utama yang diguna pakai dalam menangani masalah gangguan babi hutan. Kebiasaannya pihak jabatan melaksanakan operasi bersama pemburu berlesen bagi meningkatkan keberkesanan hasil yang diperolehi. Konflik primat, pemasangan perangkap kera 8 x 8 x 8 perangkap corong dan operasi bersepadu tembak mati, merupakan kaedah yang digunakan pakai oleh pihak jabatan dalam usaha untuk menangani gangguan primat atau kera. Kebiasaannya kerjasama penduduk kampung dan agensi berkaitan diperlukan bagi melaksanakan operasi tersebut. Tindakan-tindakan ini adalah berdasarkan kepada aduan yang telah diterima. Tindakan susulan yang diambil serta perancangan dari semasa ke semasa akan sentiasa dipantau oleh Jabatan PERHILITAN. Untuk makluman YB Sedili, pada tahun 2018 sebanyak 5 operasi tangkapan gajah telah dijalankan di kawasan Kota Tinggi di mana 6 ekor gajah yang mendiami kawasan Sedili dan Kota Tinggi telah berjaya ditangkap dan
dipindahkan. Pihak Jabatan PERHILITAN akan terus menjalankan kawalan dari semasa ke semasa seperti tembak halau dan khidmat nasihat berdasarkan aduan yang diterima. Yang Berhormat Tuan Speaker, demikianlah tadi penjelasan saya ke atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, sepanjang segmen perbahasan saya. Diharapkan pihak pembangkang dapat menjadi pengimbang kepada pihak kerajaan, biasalah bila kita membangkang, kita sentiasa akan membangkang. Namun diharapkan bangkangan itu menjadi boleh memberi impak yang positif kepada pihak kerajaan. Untuk pengetahuan YB Sungai Balang, YB Machap, ADUN Gambir, Parlimen Pagoh dulu pernah berada di kerajaan dan alhamdulillah banyak pembangunan yang dibuat oleh ADUN Gambir, Parlimen Pagoh. Hatta saya rasa tak ada satu masjid pun yang tidak diberi sumbangan oleh YB Gambir. Namun bila beliau menjadi pembangkang keluar statement, apa jasa Ahli Parlimen terhadap orang-orang di Parlimen Pagoh? Sedangkan bangganya kita Bangsa Johor kerana dah ada hab Universiti Pagoh. Lebih malang lagi sumbangan untuk memberi bantuan sumbangan di dalam masjid pun, bukan di dalam masjid, di dalam kawasan masjid sahaja memberi sumbangan di kawasan masjid bukan di dalam masjid pun dinafikan haknya. Seolah-olah tiada jasanya langsung, Ahli Parlimen Pagoh, (Dewan bertepuk) itulah kesannya apabila kita menjadi pembangkang. Apa pun tahniahlah, so mohon maaf sekiranya
Dia tepuk sokong, tepuk bantah?
Saya mohon maaf sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin terlepas pandang dalam penjelasan saya sebentar tadi dan tahniah dan syukurlah tuan-tuan menjadi pembangkang. Kami semua juga bersyukur menjadi pemerintah dan saya rasa penjawat-penjawat awam yang ada di sini juga bersyukur menjadi penjawat awam negeri Johor. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi di bawah portfolio saya dan saya akui bahawa semua ketua-ketua agensi, ketua-ketua jabatan di bawah portfolio saya merupakan orang-orang yang hebat, orang-orang yang bijaksana dan insya-Allah akan membantu saya merealisasikan Belanjawan 2019 dan terima kasih juga telah membantu saya memberikan ulasan bagi menjawab persoalan-persoalan yang telah diajukan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian. Saya pun menjadi musykil juga bila EXCO ini dia berucap dia dapat satu tepukan daripada pembangkang. (Dewan bertepuk). dua kali dah saya perhati, apa ilmu dia. Oklah, masa pun saya kira dah lewat apa ni, sikit sangat jadi elok kita sambung sebelah petang sajalah ya. Jadi setakat ini sahaja kita, bertemu semula sambung pada jam 2.30 petang ini. Sekian. Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari. Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat persidangan disambung semula. Seterusnya saya menjemput Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di mesyuarat Ketiga Belanjawan 2019 Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke – 14.
Terlebih dahulu bersempena dengan sambutan hari ulang tahun, Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang ke 60 November lalu, patik mengambil kesempatan ini merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan negeri Johor kekal aman, makmur, maju dan rakyat hidupnya bermuafakat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato Haji Osman bin Sapian atas Darjah Kebesaran Darjah Mahkota Yang Mulia Pangkat Pertama, Dato Seri Mahkota Johor sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan baru-baru ini, serta tahniah atas pembentangan Belanjawan 2019 yang begitu inklusif selaras dengan tema Menerajui Perubahan Mengalas Harapan Bangsa Johor Bestari.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas peruntukan Belanjawan 2019 berjumlah RM18 juta yang disalurkan untuk Program Rakan Muda dan kegiatan-kegiatan sukan negeri. Selain itu peruntukan sebanyak RM11.5 untuk pelaksanaan kegiatan-kegiatan kebudayaan seni dan warisan negeri Johor .Di kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan cadangan, pandangan serta teguran berkaitan dengan jabatan-jabatan di bawah portfolio Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor. Saya mengambil siap maklum balas yang diberikan dengan berlapang dada dan menilai setiap satunya supaya diberi perhatian demi memacu kecemerlangan anak muda, sukan dan budaya.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Sri Medan berkaitan pembinaan Galeri Pak Matlob yang dicadangkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah dan mengenai surat hitam putih yang dikatakan galeri tersebut akan dibatalkan. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Sri Medan, kerajaan negeri Johor tidak pernah menafikan sumbangan Allahyarham Mohamad@Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob sebagai tokoh penulis negeri Johor yang banyak menyumbang jasa dan pemikiran dalam pembangunan dan kelestarian tulisan jawi serta penghasilan karya beliau dalam pelbagai genre penulisan. Jasa Pak Matlob yang banyak merencanakan soal pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial di dalam karya-karya beliau harus diangkat untuk memberi contoh kepada masyarakat di luar sana untuk terus mencintai serta menjiwai bangsa. Kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan sebarang surat pembatalan kepada usaha penubuhan Galeri Pak Matlob di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah, sebaliknya pembinaannya ditangguhkan buat sementara waktu sebelum benar-benar diteliti dan dinilai semula. Kerajaan negeri juga yakin dan percaya melalui penubuhan Galeri Pak Matlob ini, ianya bakal menjadi pencetus kepada masyarakat untuk terus cakna akan segala usaha memartabatkan khazanah bahasa persuratan, warisan dan sejarah yang ada di negeri ini, khususnya perjuangan tulisan jawi yang amat sinonim dengan pentadbiran negeri Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, menjawab cadangan ADUN Senggarang yang mencadangkan Johor menjadi hab kepada kebudayaan untuk semua kaum di negeri ini berikutan tiada satu negeri yang memfokuskan kepada kebudayaan. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Senggarang, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor akan memperkasa warisan seni dan budaya bangsa negeri Johor dengan wujudnya Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai pusat perkongsian ilmu. Kompleks ini telah dimasyhurkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 28 November 2018 yang lalu. Kompleks Warisan Abu Bakar ini akan menjadi hab ataupun pusat setempat bagi warisan dan budaya negeri Johor. Di kompleks ini, terdapat Galeri Tenun Johor untuk pengunjung merasai sendiri suasana di bengkel tenun. Malah, sebuah auditorium akan diwujudkan melalui penambahbaikan Dewan Kompleks Warisan Abu Bakar di mana ia akan menjadi sebuah panggung yang akan memaparkan pelbagai aktiviti seni dan warisan bangsa Johor. Selain itu, kompleks ini juga menyediakan sebuah pusat dokumentasi Johor yang menempatkan sejumlah koleksi karya terkini dan karya nadir berkaitan negeri Johor selain Galeri Seni dan Laman Seni Warisan. Terdapat pelbagai pengisian yang akan dilaksanakan iaitu persembahan seni budaya dan seni kreatif daripada penggiat seni setempat. Usaha yang dilaksanakan itu adalah bagi memastikan budaya dan warisan bangsa Johor kekal seiring dan terus berkembang malah menjadi sebuah identiti bangsa yang dipelihara. Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan kerjasama persatuan-persatuan dari pelbagai kaum untuk memartabatkan seni dan budaya. Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya mengenai warisan budaya yang tersembunyi di Kota Gelanggi di Kota Tinggi yang disentuh oleh ADUN Tiram yang mana dilihat boleh dijadikan tempat pelancongan. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Tiram, Kota Gelanggi yang terletak di Kota Tinggi ITU turut dikenali sebagai Kota Purba Linggiu. Pihak Yayasan Warisan Johor melalui Bahagian Pemuziuman dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menubuhkan Pasukan Penyelidikan Arkeologi Pesisiran Sungai Johor sejak tahun 1996. Pasukan ini mendapat khidmat nasihat daripada pakar arkeologi Malaysia iaitu Profesor Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi bin Nik Abdul Rahman dan juga merupakan karyawan tamu Yayasan Warisan Johor pada ketika itu. Tujuan pendidikan di sepanjang Sungai Johor dilakukan ialah untuk mengesan tapak-tapak sejarah dan artifak pemerintahan Kerajaan Purba dan Pra Kesultanan Johor Riau-Lingga.
Mengikut catatan sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang, selepas menakluki Gangga Negara, Raja Suran belayar ke Kalang Kio atau Gangga Gio atau Linggiu, sebuah kerajaan yang besar kotanya diperbuat daripada batu hitam di hulu Sungai Johor. Penyelidikan menyeluruh khususnya melalui perspektif arkeologi untuk menemukan Kota Purba Linggiu itu telah dilakukan oleh kumpulan penyelidik dan pakar dari bidang berkaitan dari Jabatan Muzium dan Antikuiti, Yayasan Warisan Johor, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pusat Remote Sensing Negara, Jabatan Perhutanan Johor, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Johor dan Persatuan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia. Penyelidikan ini bermula pada 20 Mac hingga 31 Julai 2005. Dalam laporan, penyelidikan membuat kesimpulan sepanjang tempoh penyelidikan tersebut, tiada bukti kukuh untuk menerima dakwaan bahawa Kota Purba Linggiu telah ditemui. Penyelidikan arkeologi dijalankan untuk mengesan kewujudan kota purba dan tapak penempatan Kerajaan Pra Kesultanan Johor yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor yang dibuat secara berperingkat-peringkat bermula dari tahun 1998 dengan membuat penggalian di Kota Sayong, Sayong Pinang, Bukit Seluyut, Kampung Panchor dan kajian arkeologi di Johor Lama. Kerja-kerja penyelidikan arkeologi akan diteruskan sehingga memperolehi bukti-bukti yang kukuh tentang kewujudan kota purba dan tapak Kerajaan Pra Kesultanan Johor. Terima kasih kepada ADUN Tiram yang prihatin dengan warisan budaya yang terdapat di negeri ini di samping memberi cadangan kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan sektor pelancongan di Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya mengenai pandangan daripada ADUN Perling berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian di negeri ini di mana beliau bercadang agar negeri Johor sebenarnya boleh menjadi pusat seni dan budaya. Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada ADUN Perling dengan pandangan yang diberikan. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Perling, pada tahun 2018 Yayasan Warisan Johor telah menganjurkan Festival Hujung Medini yang merupakan sebuah program yang mengangkat seni dan budaya yang terdapat di negeri Johor. Festival tersebut juga memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai seni persembahan dari aspek penyampaian, fungsi dan keutamaannya dalam komuniti sesebuah masyarakat. Di samping menyemaikan semangat perpaduan cintakan bangsa dan tanah air serta menanamkan semangat jati diri. Selain itu, Yayasan Warisan Johor telah melaksanakan Festival Tari Rakyat Johor yang mana program ini merupakan penjenamaan semula kepada program Seni Muafakat Johor. Program ini diadakan bagi mengumpul seramai mungkin penggiat seni dan kumpulan-kumpulan seni budaya yang ada di Johor ini. Sempena penganjuran festival ini, Yayasan Warisan Johor telah menghimpunkan beberapa pertandingan tarian seperti tarian zapin, tarian rampaian tradisional Melayu, tarian Cina, tarian India dalam satu pentas utama yang dinamakan Festival Tarian Rakyat Johor 2018. Antara pengisian aktiviti sempena Festival Tarian Rakyat Johor Tahun 2018 ini telah diadakan pelbagai kategori antaranya pertandingan tarian rampai tradisional Melayu, Cina, India dan juga pertandingan zapin. Hasil daripada penganjuran program ini, Yayasan Warisan Johor telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 10,000 orang penonton. Pada tahun 2019, Yayasan Warisan Johor akan mengadakan Festival Muzik Rakyat Johor yang mana program ini dirancang akan menghimpunkan beberapa pertandingan seperti pertandingan ghazal, pertandingan muzik keroncong, pertandingan lagu asli dan pertandingan gendang yang terdiri daripada gendang Melayu yakni kompang, gendang Cina dan juga gendang India. Program ini diharap dapat membuka peluang serta tarikan kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta memeriahkan festival ini. Program ini merupakan kesinambungan daripada Festival Tari Rakyat Johor 2018 yang akan memberi impak besar dalam menghimpunkan seluruh penggiat seni muzik di negeri Johor selain memberi peluang kepada seluruh penggiat seni muzik menonjolkan bakat masing-masing di dalam Festival Muzik Rakyat Johor 2019 bagi memastikan agar seni muzik ini dipelihara dan tidak ditelan oleh bak arus kemodenan kini. Yang Berhormat Puan Speaker, mengenai kegusaran Yang Berhormat ADUN Pulai Sebatang berkenaan masalah pengurusan kewangan Majlis Sukan Negeri Johor, saya telah mengadakan pertemuan bersama pegawai yang berkaitan. Hasil perbincangan tersebut, Majlis Sukan Negeri Johor telah mengenal pasti beberapa permasalahan yang dihadapi dan telah pun mengambil langkah-langkah penambahbaikan. Antaranya perancangan membangun sistem kewangan, penyimpanan rekod, dokumen dan akaun dengan baik. Penambahbaikan tersebut diambil adalah untuk memastikan pengurusan kewangan dapat dilaksanakan dengan betul dan teratur. Pihak Majlis
Sukan Negeri Johor juga akan memastikan setiap pelaksanaan pengurusan kewangan akan dipantau oleh pihak di Jabatan Audit Negara dan Audit Dalaman serta mendapatkan nasihat serta rujukan dari semasa ke semasa. Yang Berhormat Puan Speaker, berdasarkan ucapan pembentangan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor baru-baru ini, saya juga ingin menyentuh mengenai ADUN Belia Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan adanya program seperti ini, kerajaan negeri dapat mewujudkan pemimpin pelapis untuk kepimpinan masa hadapan. Selain itu, kerajaan negeri Johor menerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri akan memantau pembangunan anak-anak muda Johor yang mempunyai pendidikan minimum. Untuk makluman, sejak Julai hingga Disember 2018, sebanyak 44 program telah berjaya dilaksanakan melalui Institusi Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) dengan capaian lebih daripada 5,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan sasaran. Antara program yang mendapat sambutan daripada golongan belia adalah Townhall Bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Bitara Johor dan Pembangunan Insan Kepimpinan Bestari Bangsa Johor. Untuk makluman Puan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pada 8 Disember ini kerajaan negeri akan mengadakan Program Townhall Anak Muda yang diadakan di dewan Yayasan Warisan Johor. Tujuan penganjuran adalah untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada anak muda dari setiap daerah yang mana kita menyasarkan penyertaan lebih kurang 600 orang peserta. Malah pada tahun 2019, kerajaan negeri melalui IKLAS telah merancang untuk mengadakan program antaranya Jelajah Anak Muda Johor, Townhall bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan bersama golongan kurang upaya, pekak dan PARA dan serta Kursus Kepimpinan Anak Muda Johor bagi setiap daerah di Johor. Selain IKLAS, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor turut memainkan peranan dalam pembangunan belia di negeri ini. Pada tahun ini, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor telah melaksanakan beberapa program yang memberi impak yang positif dalam kalangan belia di negeri ini, antaranya Program Pendakian Gunung Tahan dan Johor Motorcross. Bagi tahun 2019, Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor telah merancang program wall climbing untuk setiap daerah dan pendakian gunung serta program bersama usahawan baharu yang berdaftar dengan Pusat Pembangunan Belia Negeri Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan negeri juga akan memastikan persiapan-persiapan SUKMA sepanjang tahun ini dan juga tahun 2019 akan berjalan dengan lancar selain mengadakan pemantauan setiap projek-projek yang dilaksanakan. Kami juga akan memastikan setiap fasiliti yang akan dibina siap pada awal tahun 2020. Untuk tujuan itu, pada 14 Disember ini satu perbincangan lanjut dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan diadakan bagi memastikan setiap peruntukan akan kita terima bagi memastikan projek berjalan lancar. Kita juga akan memastikan bahawa pembangunan atlet juga berjalan dengan lancar di bawah Projek Titanium 2020. Yang Berhormat Puan Speaker, akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan di bawah portfolio saya serta agensi-agensi kerajaan di atas kerjasama dan sokongan serta bantuan yang telah diberikan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan. Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya dan, insya-Allah saya telah pun cuba memberikan jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang, tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan di bawah portfolio saya. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang dapat ditambahkan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan, jemput.
Yang Berhormat Puan Speaker, salam sejahtera dan salam harapan. Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker, atas keizinan untuk saya menggulung perbahasan Belanjawan Johor Tahun 2019, pada hari ini. Terlebih dahulu bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim, patik mengambil kesempatan ini merafak sembah takzim dan menjunjung
setinggi-tinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengamil bahagian dalam perbahasan yang menyentuh Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, izinkan saya memulakan penggulungan dengan menyentuh perkara yang dibangkitkan oleh Senggarang berhubung dengan cadangan penubuhan Task Force dengan izin, untuk mencari tempat-tempat baru yang lebih berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan khususnya tapak-tapak peninggalan sejarah. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri di mana Majlis ini dianggotai oleh pelbagai agensi-agensi kerajaan, swasta, badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan. Oleh yang demikian, Majlis ini akan membantu kerajaan negeri dan Tourism Johor di dalam mengenal pasti tempat-tempat baru yang lebih berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan. Majlis ini akan digerakkan dengan lebih agresif pada tahun 2019.
Yang Berhormat Senggarang juga ada mencadangkan agar Johor menjadi hab kebudayaan dengan memeriahkan seni budaya Melayu, Cina, India, Sikh, Orang Asli dan peribumi yang lain. Untuk makluman, usaha-usaha untuk menjadikan kepelbagaian budaya yang terdapat di negeri ini sememangnya dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui pelbagai pihak dari semasa ke semasa. Antara usaha tersebut adalah melalui penganjuran acara seperti Gema Festival Hujung Medini, Perarakan Chingay, Pesta Deepavali dan sebagainya. Saya menyambut baik cadangan Yang Berhormat Senggarang dan perkara ini akan dibincangkan dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, berhubungan cadangan Yang Berhormat Mengkibol mengenai visa transit. Pengecualian visa sekiranya memegang Visa Singapura dan Visa on Arrival dengan izinnya. Cadangan ini tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun, saya mengambil maklum dan akan membawa cadangan ini dan memanjangkan kepada perhatian Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia. Dalam usaha untuk memperhebatkan kempen promosi pelancongan di negeri Johor pelbagai pendekatan telah diambil dan telah dirangka untuk dilaksanakan.
Untuk makluman Yang Berhormat Endau, kerajaan negeri melalui Tourism Johor, sememangnya mempunyai perancangan untuk memperbanyakkan papan iklan pelancongan negeri Johor di lokasi-lokasi strategik dalam negeri Johor. Usaha ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Selain itu, Majlis Daerah Mersing kini di dalam proses mendapatkan permohonan peruntukan bagi pelaksanaan Pelan Tindakan Khas Pelancongan Mersing.Di mana skop kajian melibatkan akan turut melibatkan kawasan Endau. Hasil kajian ini akan digunakan bagi membangunkan industri pelancongan daerah Mersing termasuk kawasan Endau.
Yang Berhormat Puan Speaker, tidak dapat dinafikan bahawa pihak swasta sememangnya memainkan peranan yang sangat penting di dalam memacu industri pelancongan di sesebuah negara termasuklah di negeri Johor. Sehubungan dengan itu, konsep penswastaan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pemanis khususnya di dalam sektor agro pelancongan sememangnya telah dilaksanakan di negeri ini. Antara produk agro pelancongan yang dilaksanakan oleh pihak swasta di negeri Johor adalah seperti Desaru Fruit Farm, Ginseng Organic Park danDesaru Coral Leisure Farm, dengan izinnya. Bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak swasta di dalam sektor pelancongan kerajaan negeri melalui Tourism Johor akan sentiasa mempertingkatkan hubungan kerjasama dan memberi bantuan kepada mereka khususnya di dalam mempromosikan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Yang Berhormat Sedili membangkitkan mengenai usaha untuk membangunkan Sedili sebagai kawasan pelancongan bagi melengkapi pembangunan di Desaru. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri melalui agensi seperti Tourism Johor, Kejora, Majlis Daerah Kota Tinggi dan sebagainya sememangnya mempunyai perancangan untuk mewujudkan rantaian pelancongan dari pembangunan Desaru Coast ini sehingga ke kawasan Sedili. Saya telah pun menggariskan beberapa perancangan tindakan seperti yang terkandung di dalam jawapan untuk soalan bertulis Yang Berhormat Sedili.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor semasa pembentangan Belanjawan 2019, telah mengumumkan bahawa Tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Johor. Bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2020 ini kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan penggerak-penggerak industri pelancongan negeri Johor akan mempergiatkan usaha dengan memperbanyakkan penganjuran acara pelancongan, fun trip, latihan dan memperhebatkan kempen promosi dalam serta luar negara. Selain itu, kerajaan negeri akan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kemudahan sokongan pelancongan di negeri Johor. Oleh itu, saya ingin mengajak semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat untuk turut bersama-sama berusaha menjayakan Tahun Melawat Johor 2020.
Yang Berhormat Puan Speaker, beralih ke Portfolio Pembangunan Wanita, ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat berminat dengan Program Mama Friendly yang menerima peruntukan RM50,000.00 daripada kerajaan negeri. Program ini merupakan satu kempen yang bakal dilancarkan oleh kerajaan negeri bagi menyahut seruan kerajaan persekutuan dalam menggalakkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja. Pada masa yang sama, kerajaan negeri memperkenalkan kempen ini bagi menyokong dasar penyusuan susu ibu di kalangan kakitangan awam wanita. Selepas saya mengambil alih Portfolio Pembangunan Wanita Negeri Johor saya dapati, Johor amat kurang tempat yang sesuai untuk wanita khusus ibu menyusu untuk mengepam atau menyusu badan. Mereka terpaksa berbuat demikian di tandas, surau, pantry atau di dalam kereta mereka. Dan, saya rasa kurang bersih dan kurang sesuai dan selesa. Negara kita mempunyai pelbagai kaum dan fahaman agama kita perlulah mengambil kira tentang kehormatan dan sensitiviti seluruh golongan wanita. Oleh itu, cetusan idea Mama Friendly ini adalah untuk mewujudkan bilik khas menyusu atau pumping room dengan izin supaya ibu-ibu menyusu boleh mengepam susu dalam ruang yang disediakan atau ruang yang tertutup lebih selesa, bersih dan juga berprivacy.
Sebagai projek perintis bilik khas ini akan dimulakan di bangunan pejabat saya iaitu Bangunan Dato’ Muhamad Ibrahim Munshi. Saya amat berharap kempen ini dapat diluaskan di semua premis kerajaan yang lain dan juga ke sektor swasta seperti kompleks beli belah dan juga hotel.
Yang Berhormat Larkin telah menyuarakan isu berkaitan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak di negeri ini. Saya menyambut baik mengenai cadangan beliau bagi menambah peruntukan untuk menangani isu berkaitan kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak di negeri Johor. Memang diakui kes penderaan kanak-kanak amat membimbangkan dan perlu ada tindakan pencegahan bagi meningkatkan kesedaran perlindungan kanak-kanak.
Sepanjang tahun 2016 hingga ke November tahun 2018, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor telah mengendalikan sebanyak 525 kes penderaan kanak-kanak. Johor Bahru mencatatkan peratusan kes sebanyak 25.5% iaitu 134 kes, diikuti dengan Batu Pahat 24.3% iaitu 128 kes dan Muar 20.9% iaitu 110 kes. Di samping itu, jumlah pelindung kanak-kanak khususnya di daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan di Muar supaya JKM dapat mengambil tindak balas segera terhadap kejadian penderaan. Pada masa yang sama, kerjasama bersama dengan NGO berkaitan kanak-kanak, orang awam dan sukarelawan juga akan dipertingkatkan bagi memberi kesedaran masyarakat membantu menangani isu penderaan kanak-kanak. Selain itu, latihan kepada pelindung kanak-kanak dalam pengurusan kes kanak-kanak juga akan dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pengurusan kes, penyediaan laporan dan juga profesionalisme mereka.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, negeri Johor bukan sahaja mempunyai Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor, kita ada Rumah Kanak-Kanak Mini dan Asrama Akhlak Kempas yang memang perlindungan atau shelter dengan izinnya, kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa kes-kes pengabaian, terbiar, penderaan fizikal, seksual, emosi, mengemis, meminta sedekah, warga asing tiada dokumen kelahiran dan sebagainya. Perkhidmatan yang diberikan oleh institusi adalah memberi penjagaan, pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan. Saya rasa lebih baik untuk kerajaan negeri mengadakan program berfaedah untuk mendidik masyarakat supaya tidak membahayakan kanak-kanak berbanding dengan membuka lebih banyak lagi rumah perlindungan kanak-kanak.
Yang Berhormat Puan Speaker, Program Stalk It Survive(SIS) di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim iaitu YPKDT ini juga telah menarik perhatian Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, kerana telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Maharani dan Penawar. SIS adalah program dan kempen sebagai pencegahan yang lebih berkesan selain menyediakan sistem sokongan pencegahan. Pelaksanaan program ini adalah lebih menyeluruh dengan kerjasama strategik dari pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan juga NGO.
Sebagai seorang ADUN wanita, Yang Berhormat Maharani amat prihatin tentang perkembangan golongan wanita di negeri ini. Saya sambut baik cadangan untuk membangunkan Pusat Jaya Diri di daerah Muar dan juga daerah-daerah lain untuk membantu wanita menjadi lebih berdikari tetapi ia perlu dibuat secara berperingkat mengikut keperluan dan kesesuaian. YPKDT menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah Pusat Jaya Diri di semua daerah dalam tempoh 2 hingga 3 tahun. Suka saya maklumkan bahawa cadangan membina Pusat Jaya Diri di Muar termasuk dalam perancangan tersebut. Pada dasarnya beberapa cadangan telah dikenal pasti termasuk sebuah bangunan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) untuk dibangunkan sebagai Pusat Jaya Diri di Muar.
Selain itu, Yang Berhormat Maharani juga ingin tahu tentang rekod ibu tunggal di negeri Johor. Bagi rekod ibu tunggal YPKDT adalah melalui sistem maklumat ibu tunggal SMIT YPKDT. SMIT YPKDT boleh mengenal pasti maklumat secara lebih terperinci mengenai jumlah ibu tunggal seluruh negeri Johor mengikut pecahan daerah, DUN, kaum, umur dan sebagainya. Selain itu, SMIT merekod maklumat bantuan peralatan yang telah diberikan bagi memastikan maklumat yang lebih tepat dan terkini. YPKDT sentiasa mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa. YPKDT juga akan menyelaras secara bersama dengan semua jabatan dan agensi serta NGO yang turut menyediakan pendaftaran ibu tunggal agar maklumat berkenaan ibu tunggal di negeri Johor adalah tepat.
Kerajaan negeri amat berusaha untuk membela nasib golongan wanita terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Saya sambut baik cadangan Yang Berhormat Sungai Balang untuk lebih memantau dan membantu ibu tunggal dalam membantu golongan ini menjana pendapatan, Program Peningkatan Sosioekonomi pada tahun 2019 telah dicadangkan dengan melaksanakan kursus kemahiran dengan secara lebih berfokus dan melaksanakan program dan aktiviti di Pusat-Pusat Jaya Diri YPKDT yang telah dibangunkan. Pemantauan selepas kursus turut dijalankan bagi memastikan keperluan dan melihat potensi peserta kursus tersebut merangkumi kemahiran dan juga keusahawanan dari segi pemasaran, pengurusan kewangan, pembungkusan dan pelabelan untuk meningkat kebolehpasaran produk mereka.
Yang Berhormat Jementah ada menyentuh berkenaan dengan program iSuri. Data yang disebutkan Yang Berhormat memang tepat. Program iSuri dikendali oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di mana terdapat data yang tidak begitu tinggi adalah atas beberapa sebab, seperti ramai yang di antara penerima yang layak tidak berminat untuk mencarum, suri rumah-suri rumah yang tidak cukup syarat dan penerima yang layak tidak dapat dikesan.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam usaha melakarkan masa depan negara dan negeri, kerajaan negeri tidak pernah melupakan golongan warga emas yang banyak berjasa dan memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
Untuk makluman Yang Berhormat Pemanis yang telah menyentuh isu golongan warga emas dan juga Dewan yang mulia ini, selain pihak kerajaan negeri, melalui JKM iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai institusi kebajikan iaitu Rumah Seri Kenangan, Johor Bahru. Di negeri Johor juga terdapat sebanyak 54 buah pusat penjagaan warga emas yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1994 yang dikendalikan oleh sama ada pihak swasta atau NGO, bertujuan memberikan perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif dan miskin atau terabai. Selain itu, terdapat juga rumah orang tua seperti Rumah Sejahtera yang diwujudkan di bawah kelolaan Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia (MPKSM) merupakan NGO smart partnership dengan izinnya, bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebanyak 24 buah di negeri Johor. Dan juga terdapat 6 buah rumah orang tua Islam yang tidak berwaris dikendalikan oleh jawatankuasa di bawah pentadbiran pejabat daerah.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum saya mengakhiri penggulungan ini, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya Yang Berhormat Tenang terhadap agenda pembangunan persona srikandi atau golongan wanita. Kerajaan negeri menggariskan Belanjawan 2019 setelah mengambil kira keperluan seluruh lapisan masyarakat. Dan semestinya golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah tidak dilupakan. Begitu juga dengan Yang Berhormat Pasir Raja, walaupun Pasir Raja berada di sebelah sana, Yang Berhormat Pasir Raja tetap menyambut baik RM200,000.00 yang di peruntukan oleh kerajaan negeri untuk Sambutan Hari Srikandi Harapan.
Untuk makluman, program ini bukan sekadar majlis perasmian semata-mata, sebaliknya ia menonjolkan sisi luar biasa kaum wanita dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan. Program ini bertujuan mengiktiraf sumbangan kaum wanita negeri Johor yang turut berperanan menyumbang
kepada pembangunan dan kesejahteraan negara khusus di negeri Johor. Kemuncaknya adalah pengiktirafan kepada Tokoh Wanita atau NGO wanita di mana ia dilihat daripada sumbangan wanita kepada kerajaan, masyarakat dalam bidang-bidang yang mereka ceburi.
Saya sering mengingatkan ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah portfolio saya supaya tidak lupa bahawa semua program yang kita adakan adalah untuk rakyat dan kebaikan rakyat jelata. Oleh yang demikian, kerajaan negeri menyambut baik cadangan Yang Berhormat Pasir Raja untuk memantau program-program yang diadakan untuk golongan wanita agar ia tidak menjadi program syok sendiri seperti mana yang sering berlaku pada banyak program berkaitan wanita dan keluarga yang telah dianjurkan oleh kerajaan sebelum ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana memberikan keizinan kepada saya untuk menggulung perbahasan Belanjawan 2019, khususnya bagi portfolio bagi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Negeri Johor. Terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas prihatin ke atas dua-dua sektor ini. Dan saya akan memberi perhatian sepenuhnya terhadap semua teguran, cadangan dan komen serta akan berusaha melaksanakan setiap cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, jemput.
Salam sejahtera, salam Harapan Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, Ahli-Ahli yang Berhormat. Syukur kita panjatkan kepada tuhan kerana memberikan kesempatan kepada kita semua untuk berada di dalam Dewan yang mulia ini. Bagi kami melunaskan tanggungjawab membawa suara dan hasrat rakyat yang telah memberikan kami mandat pada Pilihan Raya Umum Yang ke-14 yang baru berlalu. Sebelum saya menggulung, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sama ada di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan kali ini khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor. Segala cadangan, pandangan dan teguran oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat itu amat dihargai dan akan diberi perhatian yang sewajarnya.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin menjelaskan pertama isu air kotor yang dibangkitkan dalam sidang Dewan pada 2 Disember oleh Yang Berhormat Machap. Dalam soal kualiti air terawat, sememangnya SAJ mempunyai pelbagai langkah bagi memastikan air yang dibekalkan selamat digunakan. Selamat bermakna air yang dibekalkan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah National Standard for Water Quality iaitu satu piawaian yang lagi ketat daripada WHO, World Health Organisation. Sungguh pun demikian, apabila berlakunya gangguan bekalan air, pengguna seperti di beberapa kawasan di Machap dan Simpang Renggam ada mengalami air berwarna disebabkan endapan yang mendap di bahagian paip, di bawah paip. Apabila sesuatu gangguan telah pulih, maka tekanan dalam paip itu akan menolak endapan tersebut sehingga mengubah warnanya. Namun, keadaan ini seharusnya bersifat sementara dan berlaku dalam jangka waktu yang sangat pendek. Air berwarna itu akan kembali normal apabila tekanan dalam paip bergerak seperti biasa. Dalam keadaan ini juga, pihak SAJ akan melakukan kerja-kerja scouring dan flushing, dengan izin, sebagaimana prosedur biasa bagi menyingkir sedimen-sedimen yang ada dalam sistem paip terbabit.
Saya berharap Yang Berhormat Machap dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain dapat membantu menghebahkan kepada penduduk setempat dalam kawasan-kawasan masing-masing untuk berurusan terus dengan pihak Ranhill SAJ di talian, boleh ambil telefon nombor ni ya, 1800 88 7474 untuk tindakan yang lebih segera. Sekiranya selepas hubung dengan Ranhill SAJ tak ada balasan, boleh hubungi saya. Sebagai langkah inisiatif, pihak kerajaan juga sudah pun di peringkat awal melaksanakan Program Pollution Remover Solution atau sistem PRS untuk rawatan leachate secara automatik melalui SAJ. Program yang melibatkan kos berjumlah hampir RM9 juta sudah pun di peringkat 30% pelaksanaannya, dan dijangka akan siap pada penghujung tahun 2019 dan haraplah dengan beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan, kita boleh kurangkan gangguan bekalan air di kawasan Machap dan Simpang Renggam.
Yang Berhormat Puan Speaker, dari Machap kita ke Tanjung Surat. Tentang projek-projek penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan untuk menikmati bekalan air yang lebih
sempurna. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, projek menaik taraf paip 450 mm diameter ke 700 mm diameter dari Sungai Rengit ke Pengerang telah pun siap pada bulan Julai 2018. Sungguhpun projek-projek menaik taraf loji dan sistem rangkaian dilaksanakan, pihak SAJ sedaya upaya meminimakan gangguan bekalan air dan kebanyakan kerja-kerja dijalankan bukan di waktu puncak.
Saya juga bersetuju dengan kebimbangan Yang Berhormat Buluh Kasap tentang loji rawatan air yang hampir siap, tetapi paip yang sudah lama dikhuatiri tidak dapat menahan tekanan air yang sudah pulih tekanannya. Bagi mengatasi kebimbangan ini, terdapat program pengagihan paip jenis dark tail iron (DI) berukuran 200 mm diameter sepanjang 1.8 km dari Pekan Segamat ke Pekan Buluh Kasap. Projek yang melibatkan kos RM600,000.00 sudahpun dilantik kontraktornya namun masih menunggu kelulusan daripada pihak JKR. Sekiranya sudah mendapat kelulusan terbabit, projek akan dimulakan dan berakhir untuk tempoh tiga bulan.
Terima kasih juga saya ingin menyatakan kepada Yang Berhormat Tangkak kerana membangkitkan isu joint billing di antara SAJ Ranhill dan IWK. Walaupun saya telah menjawab sebelum ini pada sesi menjawab soalan lisan, suka saya ingin menekankan sekali lagi, bahawa kerajaan persekutuan melalui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (CATS) telah merangka pelan hala tuju pembangunan industri perkhidmatan pembetungan negara untuk meningkatkan kemapanan industri dan memastikan kelestarian alam sekitar adalah sentiasa terpelihara yang mana pelan ini telah di bentang dan dipersetujui oleh pihak persekutuan. Selaras dengan itu, CATS melalui surat bertarikh 13 September 2018, telah memaklum kepada pihak kementerian bahawa mereka sedang berusaha memperluaskan pelaksanaan joint billing ini bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.
Seperti yang sedia maklum, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menolak pelaksanaan joint billing ini buat sementara masa ini sehinggalah syarat-syarat yang telah ditentukan tersebut dipenuhi. Walau bagaimana ingin juga saya kongsi di sini kaedah joint billing yang di cadang ini hanya melibatkan akaun IWK yang bersambung dengan loji kumbahan atau STP dan mempunyai akaun dengan Ranhill SAJ. Oleh yang demikian, mana-mana tempat kediaman yang kini menggunakan sistem tangki septik individu, yang tidak menerima perkhidmatan daripada IWK tidak akan terlibat dalam cadangan joint billing ini sekiranya dilaksanakan.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga ingin mengucapkan penghargaan saya kepada Yang Berhormat Johor Lama dan juga Sedili kerana membangkitkan masalah air di kawasan Sedili serta Gugusan Waha dan Lok Heng khususnya. Usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan Johor dalam mengatasi masalah bekalan air di kawasan Sedili dan juga Gugusan Waha dan Lok Heng melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Gembut dan juga Loji Rawatan Air Lok Heng di mana ketika ini pihak kerajaan telah menyediakan dan telah meluluskan baru-baru ini, meluluskan pembinaan 3 unit telaga tiub untuk jangka masa pendek dengan kos sebanyak hampir RM400,000.00 yang mampu mengeluarkan luahan air telaga sebanyak 1.5 juta liter/hari sekiranya perlu dalam keadaan emergency khususnya pada musim kemarau.
Bagi memastikan bekalan air serta kualiti yang baik terus ditunjukkan di negeri Johor, kerja-kerja untuk menaik taraf dua loji ini masih diperlukan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan Johor melalui BAKAJ dan UPENJ akan mengemukakan permohonan kepada pihak Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bagi melibatkan kerja-kerja penyambungan penyaluran air mentah dengan menggunakan kemudahan dari projek Layang 2 Fasa Pertama dari Mawai Optik ke Loji Rawatan Air Sungai Gembut sepanjang kira-kira 20 kilometer. Kos anggaran projek perlu dibuat dengan kajian yang lebih teliti. Namun dalam masa yang sama, untuk Loji Rawatan Air Sungai Gembut perlu di naik taraf dari kapasiti sedia ada kepada yang lebih besar bagi menampung keperluan pengguna iaitu hampir 15 hingga 20 juta liter sehari sekarang.
Dari segi kawasan tadahan air, pada tahun 2015, pihak BAKAJ telah mengemukakan permohonan pewartaan kawasan tadahan air Sungai Gembut kepada pihak kerajaan Johor seluas hampir 5,161 ekar bagi memastikan kesinambungan air mentah yang berkualiti dapat dibekalkan kepada loji-loji bekalan air. Pihak BAKAJ juga sentiasa memaklumkan kepada agensi yang berkaitan berkenaan pencerobohan kawasan tadahan air Sungai Gembut yang di mana kerajaan akan cuba memastikan dengan penambahan penguat kuasa, pencerobohan, insiden ini boleh dikurangkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Johor tidak akan berjaya sekiranya pihak awam berterusan menceroboh kawasan-kawasan tadahan air bagi kedua-dua loji ini. Oleh yang demikian diharaplah bukan sahaja pihak kerajaan, malah diharaplah pihak orang awam juga memahami betapa pentingnya kawasan tadahan air ini adalah untuk negeri Johor.
Yang Berhormat Puan Speaker, merujuk kepada Yang Berhormat Tanjung Surat yang prihatin dan telah membangkitkan isu mengenai sistem kumbahan di Taman Bayu Damai. Untuk makluman Dewan yang mulia ini dan Yang Berhormat Tanjung Surat, untuk pembangunan di Taman Bayu Damai ini, sistem kumbahan dibina terdiri daripada 3 buah rumah pam dan sebuah loji rawatan kumbahan atau STP. IWK telah mengambil alih penyelenggaraan 2 buah rumah pam dan loji rawatan kumbahan awam di taman ini. Manakala sebuah rumah pam berserta paip pembetungan utama yang bersambung ke rumah pam tersebut tidak dapat diambil alih kerana terdapat kecacatan yang major dan dalam tindakan pemaju. Pemaju perlu menyelesaikan pembaikan kecacatan tersebut dan kemudian memohon pemeriksaan semula sebelum pengesyoran CCC dan seterus pencegahan serta pengambilan boleh dilakukan.
Untuk isu-isu yang berkaitan dengan pelaburan, Yang Berhormat Puan Speaker, bagi menjawab perbahasan daripada Yang Berhormat Larkin dan juga Yang Berhormat Perling, mengenai pemerkasaan Johor State Investment Centre (JSIC) kepada Invest Johor. Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 18 September 2008, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperakukan Pusat Pelaburan Negeri Johor atau JSIC yang telah ditubuhkan sejak tahun 2004, supaya menjalankan fungsi yang melibatkan pelaburan dan pembangunan industri di negeri Johor dan ianya terletak di bawah pemantauan Pengarah UPEN Johor. Bidang kuasa JSIC tertakluk hanya pelaburan industri sahaja, dan tidak termaktub untuk memantau pelaburan hartanah di negeri Johor. Pusat Pelaburan Negeri Johor adalah berfungsi sebagai satu one stop centre, atau pusat khidmat nasihat bagi aktiviti-aktiviti pelaburan industri termasuk penyediaan maklumat dan khidmat nasihat kepada bakal pelabur dan pelabur yang sedia ada daripada peringkat perundingan sehinggalah bermulanya operasi mereka. Selain daripada itu, JSIC juga akan mengadakan dan menghadiri misi-misi pelaburan di dalam dan luar negara, dan fungsi lain JSIC adalah juga untuk membantu para-para pelabur terutamanya dalam pelabur industri dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku berkaitan dengan operasi harian sama ada melalui rundingan, lawatan tapak dan sebagainya.
Sektor pelaburan harta tanah pada amnya tidak memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan, kerana ianya merupakan pemilikan hartanah secara individu. Pelaburan hartanah di Johor adalah dimonopoli oleh persendirian kerana tanah-tanah yang dibangunkan bukannya milik mutlak kerajaan negeri. Ianya telah dimiliki oleh syarikat-syarikat pembangunan hartanah. Harga pasaran hartanah bukan sahaja menjadi satu isu di Johor malah di seluruh Malaysia. Kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa dalam proses mencari cari jalan yang terbaik untuk mengawal harga pasaran hartanah dan juga mengkaji mekanisme-mekanisme yang sedia ada di Johor. Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur ke negeri Johor. Mengikut rekod pelaburan perindustrian dari 2013 hingga 2017, pelaburan tempatan telah mendominasi trend kemasukan pelaburan di negeri Johor berbanding dengan pelaburan asing. Ini memberi petunjuk bahawa negeri Johor bukan sahaja menjadi pilihan pelabur asing, malah ianya juga menjadi pelabur tempatan yang ingin mengembangkan pelaburannya di dalam Malaysia.
Izinkan saya juga Puan Speaker untuk menjawab soalan yang dilontarkan oleh Yang Berhormat Penggaram. Berkenaan kesan atau impak kepada Malaysia hasil perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China. Ini mungkin Puan Speaker akan lebih tumpu kepada jawapan saya. Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China secara tidak langsung memberi impak positif kepada pelaburan langsung asing atau FDI ke Malaysia. Perang perdagangan atau trade war akan menolak konflik perdagangan ke satu tahap persaingan baru dan Malaysia secara amnya serta negeri Johor serta khususnya perlu mengambil peluang ini. Sudi saya ingin menyatakan kepada Puan Speaker, sebenarnya sejak permulaan trade war ini lebih ramai pelabur-pelabur daripada negara China terutamanya telah menyatakan hasrat mereka untuk pindahkan operasi mereka ke Johor dan salah satu matlamat mereka tentunya alasan adalah sebab sebarang perbuatan manufacture goods dari Johor yang akan dihantar atau dijual ke Amerika Syarikat mereka tidak perlu bayar tarif 25% yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas China. Maka Johor memang dalam satu kedudukan yang kita dapat mengambil peluang maksimum apa yang berlaku di antara perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China.
Malaysia masih lagi kompetitif dan terus menjadi satu destinasi yang selamat di Asia, berikut adanya infrastruktur fizikal dan institusi yang lengkap berbanding dengan negara lain di benua ini. Pelabur asing juga senang dan jelas terhadap dasar-dasar yang diamalkan oleh kerajaan ini yang cukup mesra peniaga dan mesra pelabur. Ini terbukti dengan penarafan yang diberikan oleh agensi antarabangsa yang menunjukkan daya saing Malaysia semakin kompetitif melalui perlaksanaan langkah-langkah yang membantu perniagaan. Berikut adalah senarai pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara yang kompetitif kepada pelabur-pelabur asing oleh badan-badan profesional yang
diiktiraf seluruh dunia. Contohnya, Bloomberg’s Emerging Market Scorecard 2018, telah menyenaraikan Malaysia sebagai nombor pertama Most Attractive Emerging Market in Asia. World Bank Doing Business 2018 Report, nombor dua dalam ranking Ease of Doing Business in ASEAN, World Economic Forum’s Global Competitiveness Report 2017 and 2018 nombor dua dalam ranking Global Competitiveness Among ASEAN Countries dan di A.T Kearney Global Service Location Index 2017, kita mendapat nombor tiga dalam Global Offshoring Destination Report.
Kerajaan negeri telah meletakkan beberapa kriteria di dalam aspek pemilihan pelabur masuk ke negeri Johor. Kriteria tersebut adalah pelaburan yang masuk mesti dapat memberikan nilai tambah terhadap kepelbagaian ekonomi bagi mengelakkan bergantungan terhadap bidang-bidang tertentu. Negeri Johor akan memberi fokus pelaburan berdasarkan kepada prinsip 3H iaitu High Technology, High Value dan Halal Industry dan juga selaras dengan prinsip-prinsip dan garis panduan dalam Industri 4.0, kerana 3 sektor ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk meningkatkan pendapatan negeri Johor dan bakal membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Johor. Selain itu, pelaburan yang masuk ke negeri Johor akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan yang bermutu dan dapat mempertingkatkan lagi kemahiran pekerja tempatan. Kerajaan memerlukan pelaburan yang berkualiti berbanding dengan kuantiti pelabur yang melabur ke Johor. Pelaburan yang mesra alam sekitar, dan dapat mendukung konsep pembangunan lestari serta pengurangan bahan kimia amat-amat dialukan untuk melabur ke negeri Johor. Penekanan juga akan diberikan kepada pelaburan berteraskan teknologi terkini dan syarikat-syarikat tempatan yang mendapat manfaat melalui pemindahan teknologi.
Kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah juga untuk mengukuhkan lagi keyakinan pelabur dengan mengujudkan ekosistem pelaburan yang lebih kondusif. Penubuhan jawatankuasa pelaburan Johor atau JIC yang di pengerusi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor adalah salah satu insentif, inisiatif kerajaan negeri dalam menjadikan kerajaan negeri menjadi mesra pelabur. JIC ditubuhkan bagi menyelaras segala aktiviti pelaburan dan memastikan kesinambungan pelaburan serta menambah baik segala polisi pelaburan sedia ada. Manakala pada Julai 2018 satu task force yang dikenali sebagai task force Pelaburan Tanah Dan Utiliti (PTU) yang dipengerusikan oleh saya sendiri, telah ditubuhkan dan bertindak sebagai unit khas dalam mengenal pasti dan menyelaras sebarang permasalahan serta isu dibangkitkan para pelabur, atau pemain industri terutama yang melibatkan isu-isu tanah dan juga utiliti negeri Johor. Selain itu, lawatan dan mesyuarat berkala dengan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan kemajuan kawasan-kawasan perindustrian di setiap daerah juga merupakan inisiatif kerajaan dalam mendapatkan maklum balas secara terus dari Pihak Berkuasa Tempatan yang melibatkan kawasan industri serta melawat kawasan-kawasan industri yang ada di setiap daerah terutamanya melibatkan infrastruktur, utiliti dan isu-isu berkaitan dengan industri.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya juga ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat Buluh Kasap kerana prihatin terhadap isu talian internet, talian wifi, dan isu-isu yang sama yang berlaku di kawasan luar bandar. Untuk maklumat Yang Berhormat Buluh Kasap dan Yang Berhormat-Berhormat Dewan yang mulia ini, pihak kerajaan ini melalui SKMM telah menjalankan projek penaiktarafan perkhidmatan 3G di kawasan luar bandar di menara-menara sedia ada di sekitar kawasan Buloh Kasap dan juga Johor dalam tempoh 2 tahun ini. Manakala bagi peluasan liputan cellular pihak pemberi perkhidmatan akan membuat perancangan dan menambah baik liputan yang sedia ada dari masa ke semasa.
Yang Berhormat Puan Speaker, setakat ini sahajalah pencerahan-pencerahan yang saya dapat berikan mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang tempoh perbahasan. Akhir sekali, sekali lagi pihak saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas keprihatinan, perhatian, teguran dan sokongan yang berkesan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, khasnya kepada Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Johor. Saya memberikan komitmen penuh akan mengambil perhatian dan tindakan ke atas setiap perkara yang telah dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam harapan. Bismillahirahmannirrahim. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana diberi kesejahteraan dan peluang untuk bersama-sama dalam sidang Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas pengurniaan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Seri Paduka Mahkota Johor SPMJ.
Yang Berhormat Puan Speaker, sepanjang sidang Dewan berlangsung Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan membentangkan permasalahan tentang kemudahan infrastruktur kawasan masing-masing. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib masyarakat setempat, mengambil contoh Yang Berhormat Sri Medan membicarakan tentang masjid dan kualiti jalan, Yang Berhormat Sedili dan Yang Berhormat Johor Lama, tentang pelebaran jalan dan aspek keselamatan pengguna jalan raya, Yang Berhormat Pekan Nanas, Yang Berhormat Bukit Permai, Yang Berhormat Buluh Kasap tentang kesesakan dan mahukan jalan pintas, Yang Berhormat Layang-Layang tentang keresahan kesesakan lebuh raya PLUS, Yang Berhormat Tanjung Surat begitu juga tentang keselamatan pengguna Lebuhraya E22 Senai-Desaru.
Yang Berhormat Puan Speaker, namun begitu kerajaan negeri memperuntukkan jumlah belanjawan sekitar RM75 juta setahun untuk pembangunan dan nilai ini lebih kurang sama dengan peruntukan kerajaan yang lepas di tahun-tahun yang lepas. Maka jumlah ini tiap-tiap tahun sudah tentunya tidak cukup untuk dibelanjakan bagi tujuan mencapai kehendak semua pihak Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri. Semasa hendak membuat keputusan, pelbagai aspek dan pandangan diambil kira dalam membuat penentuan projek mengikut keutamaan. Di antaranya iaitu keselamatan pengguna jalan raya, keselesaan pengguna jalan raya, dan impak ekonomi ke atas sebuah kawasan. Semua aspek ini diteliti dengan data-data dapatan yang kita terima dari semua pihak. Seterusnya kajian saintifik dilaksanakan bagi kita membuat keputusan yang tepat dan adil. Apabila ini berlaku, sudah tentu ada yang gembira dan ada segelintir yang agak kecewa,
Yang Berhormat Puan Speaker, secara sejujurnya belum ada sejarah semua Ahli Sidang Dewan akan berpuas hati dengan keputusan belanjawan kerajaan. Namun inilah lumrah pentadbiran sebuah kerajaan yang terpaksa menempuhinya. Cuma apa yang penting bagi diri saya, segala keputusan yang dibuat tidak ada unsur kepentingan peribadi, penyalahgunaan kuasa dan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan majoriti rakyat. Kita berjanji akan bertindak mengikut keperluan dan keutamaan rakyat dan bukan semata-mata kepentingan politik,
Yang Berhormat Puan Speaker, Jabatan Kerja Raya salah sebuah agensi jabatan di bawah portfolio saya, sentiasa mengambil langkah yang proaktif untuk mempertingkat mutu kualiti jalan raya yang dibangkitkan oleh ramai Yang Berhormat-Berhormat. Berbagai langkah seperti mengadakan kerjasama dengan universiti dan syarikat swasta dan juga konsesi untuk memperkenalkan teknologi yang lebih baik bagi tujuan tersebut. Sebagai contoh, kita bekerjasama dengan syarikat Ranhill Engineering untuk memperkenalkan produk FRAC Fiber Reinforced Asphalt Concrete iaitu sejenis produk plastik resin yang dicampurkan kepada bahan pavement biasa, langkah ini akan mempertingkatkan keupayaan potensi bahan pavement tersebut, dengan izin, improve material properties dan rezilient modulas stability dan resistance to cracking. Teknologi ini dibangunkan di USA dan baru di masuk ke Malaysia untuk kajian keberkesanannya. Beberapa negeri lain seperti Pahang, Selangor, Negeri Sembilan juga sedang membuat kajian yang sama.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagaimana hebat pun teknologi jalan ini tidak akan bertahan lama jika pematuhan sekatan undang-undang tidak dipatuhi. Ini berlaku terutamanya di jalan-jalan di luar bandar. Design atau reka bentuk pavement hanya untuk kenderaan yang tidak melebihi 5 tan sahaja. Tetapi had ini tidak dipatuhi oleh penduduk atau masyarakat ramai. Terdapat banyak kenderaan yang berat muatannya lebih berganda melalui jalan tersebut. Situasi ini memerlukan kesedaran sivik orang ramai dan kaedah pemantauan pemimpin di peringkat akar umbi yang lebih berkesan.
Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan negeri sedang menyediakan sebuah sistem pengurusan mobiliti Iskandar Malaysia yang akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dengan kerjasama Perbadanan Pengangkutan Awam Johor. IRDA telah berjaya menarik kolaborasi antarabangsa. Kerajaan UK melalui 2018 Prosperity Fund telah menyediakan geran sejumlah 4.85 juta pound sterling bagi melaksanakan kajian sistem mobiliti bersepadu dan pintar serta projek perintis Iskandar Malaysia. Melalui geran ini juga IDRA dan UK Foreign Commonwealth Office (UKFCO) bakal melaksanakan beberapa program pembangunan kapasiti dan penggunaan
data bagi perancangan bandar. Program ini bertujuan meningkatkan kapasiti dan pengetahuan penjawat awam dalam sektor perancangan dan pengangkutan melalui teknologi dan inovasi.
Kerajaan negeri Johor menyokong usaha IRDA dan komuniti antarabangsa dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan. Sistem akan memberi impak kepada seluruh rakyat negeri Johor yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Sistem ini akan memudahkan perhubungan antara pengguna dengan mode pengangkutan awam di dalam negeri Johor. Akhirnya mengurangkan kebergantungan pengguna dengan kenderaan persendirian dan membantu mengurangkan kesesakan di jalan raya. Selain ini sistem ini akan diintegrasikan dengan bersama perkhidmatan e-hailing yang dilancarkan bermula 2019.
Perkhidmatan kereta penumpang e-hailing telah memberi kesan pengurangan pendapatan pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa yang mendadak. Pelbagai sesi dialog diadakan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Negeri Johor dengan Persatuan-Persatuan Teksi dan Kereta Sewa bagi mengenal pasti permasalahan mereka. Pelbagai keluhan yang dilontarkan kepada pihak kerajaan. Kita tidak meminggirkan nasib golongan tersebut. Malah kita menyediakan bantuan dengan mengadakan program-program CSR yang baru-baru ini bantuan back to school ke atas anak-anak pemandu teksi dan kereta sewa dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta dan yayasan-yayasan Majlis Kerajaan Tempatan. Kami juga memperuntukkan dana yang untuk perbelanjaan menyambut hari perayaan seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat dalam ucapan Belanjawan negeri.
Pewujudan Task Force Pengangkutan Awam. Yang Berhormat Puan Speaker, bagi mempertingkatkan kecekapan operasi pelbagai pengangkutan, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa khas task force yang diketuai oleh Wakil-Wakil Rakyat di kawasan yang terlibat. Jawatankuasa Task force ini berperanan menyelesaikan masalah dan memantau aduan rakyat untuk dikaji serta diambil tindakan secara jangka pendek dan jangka panjang. Segala isu yang memerlukan pelan tindakan dikemukakan kepada pihak persekutuan atau kementerian bagi mengambil langkah jangka masa pendek atau panjang dengan tindakan yang diperlukan di buat secara drastik seperti Jawatankuasa Task Force penambahbaikan CIQ, Bangunan Sultan Iskandar dan Jawatankuasa Task Force penambahbaik Sultan Abu Bakar. Selain daripada itu task force udara diketengahkan bagi melancarkan aliran kelular masuk penumpang dan menangani isu-isu berkaitan lapangan terbang di negeri Johor.
Penguasaan Perairan dan Pantai Negeri Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan negeri juga membentuk Jawatankuasa Khas Task Force yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pekan Nenas bertujuan memantau perairan dan mengkaji peluang kutipan hasil yang baru kepada kerajaan. Langkah proaktif telah diambil bagi tujuan membuat bancian dan penelitian ke atas semua operasi jeti-jeti di sungai dan perairan negeri Johor. Sesi lawatan kerja ke daerah-daerah telah dilaksanakan untuk bagi tujuan memahami situasi yang sebenar. Pemantauan ini perlu untuk memastikan keselamatan negeri tidak terancam dan kerajaan boleh mendapat penambahan hasil baru dari kutipan cukai. Operasi urus niaga ship to ship seperti penjualan minyak, air mentah dan bekalan keperluan ke kapal-kapal telah dikenal pasti untuk tindakan.
Yang Berhormat Puan Speaker, menyedari bahawa faktor ekonomi bergantung juga pada perlaksanaan projek pembangunan mega, kita berhasrat membina lapangan terbang di Mersing dan juga pembinaan bandar-bandar baru di sepanjang landasan berkembar elektrik seperti yang disoalkan oleh Yang Berhormat Benut. Seperti yang dibentangkan dalam ucapan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat kerajaan negeri telah mencadangkan untuk memperkenalkan sistem pengangkutan rel komuter dari stesen Kulai ke Bandaraya Johor Bahru dan sebaliknya. Di mana sistem ini menggunakan sistem rel landasan berkembar yang sedia ada, yang dalam proses pembinaan dan projek landasan berkembar elektrik tersebut telah menelan belanja RM89 bilion dan ditanggung oleh kerajaan persekutuan. Ini bermakna memaksimumkan penggunaan rel tersebut di mana sedikit perubahan dari segi signal dan juga thrive untuk komuter tersebut.
Yang Berhormat Puan Speaker, sepanjang kawasan jajaran kereta api tersebut akan muncul beberapa kawasan pembangunan perumahan dan perdagangan berasaskan sistem TOD bandar baru Kulai, dan akan wujud juga bandar baru di kawasan Senai, di kawasan Impian Emas, di kawasan Kempas dan Larkin Stadium. Sistem-sistem, stesen-stesen komuter tersebut dicadangkan selari dengan perancangan bandar-bandar baru secara konsep reka dan bina. Segala kos pembinaan stesen ini akan ditanggung oleh pemaju-pemaju perumahan yang tersebut. Ini bermakna kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak menanggung segala beban perbelanjaan. Perumahan ini
akan memberi peluang kepada rakyat yang terutamanya mereka yang bekerja di negara Singapura. Kemunculan bandar-bandar baru yang dirancang di stesen transit inilah dan dijangka mencecah nilai GDV, dengan izin, Gross Development Value yang besar sehingga boleh mencapai nilai RM10 bilion atau lebih apabila ianya siap. Nilai inilah yang menjadi satu pemangkin ekonomi domestik salah satu yang terbesar di dalam negeri Johor. Keperluan membina rumah mampu biaya yang dulunya nama Rumah Mampu Milik, sudah tentu menjadi elemen keutamaan untuk memenuhi penyertaan golongan B40 ke bawah. Apabila pembangunan tersebut ini siap, bas Muafakat Johor akan memberikan perkhidmatan sebagai feeder bus kepada stesen kereta api komuter tersebut dan membawa dan kereta api komuter tersebut akan membawa penumpang dari Kulai ke bandar Johor Bahru dan sebaliknya. Situasi ini akan membantu mengurangkan jumlah bas yang membawa penumpang masuk ke bandar Johor Bahru dan mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas di Bandaraya Johor Bahru.
Yang Berhormat Puan Speaker, pembinaan lapangan terbang Mersing. Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan pembinaan lapangan terbang di dalam di daerah Mersing dalam ucapan belanjawannya. Lapangan terbang Mersing ini akan dapat memajukan daerah Mersing yang terkenal sebagai destinasi pelancongan negeri Johor. Dengan keindahan pantai dan pulau-pulau yang merupakan daya tarikan utama kepada pelancong dari luar negara terutamanya jiran kita, Singapura. Kewujudan lapangan terbang akan memendekkan masa perjalanan ke Mersing. Jangkaan penduduk negara Singapura dan Bandaraya Kuala Lumpur akan membanjiri pantai-pantai Mersing terutamanya hujung minggu. Selain itu perkhidmatan udara tambang murah sudah tentu menjadi pemangkin kehadiran pelancong ke daerah Mersing. Industri berkaitan pelancongan seperti perhotelan, feri penumpang, sewaan bot, jet ski dan lain-lain akan berkembang dengan pesat. Ini memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan perniagaan akan berkembang dengan sangat dinamik.
Yang Berhormat Puan Speaker, selain itu pembinaan lapangan terbang ini akan mengambil kira elemen pembangunan bercampur yang terdiri daripada beberapa komponen seperti kompleks perniagaan (Skypark), sewaan hangar (Jet Persendirian), tempat simpan jet persendirian, hotel dan pangsapuri, akademi penerbangan dan perkhidmatan MRO iaitu penyelenggaraan pembaikan baik pulih pesawat dan berkaitan dengan air craft. Dengan elemen pembangunan bercampur ini akan memberi impak yang besar di kawasan-kawasan timur, utara Johor dan kita berharap satu hari nanti bandar Mersing ini menjadi seperti Gold Coast di Australia.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, izinkan saya membaca sepotong ayat al-Quran dari surah Al-Hujurat ayat ke-13, (membaca ayat al-Quran) ‘Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali’.
Di antara pengajaran yang kita dapat dari tafsiran ayat tersebut Allah SWT menjadikan manusia itu dari berbagai kaum, puak dan keturunan, maka hendaklah kita hidup saling kenal-mengenali antara satu sama lain dalam satu masyarakat majmuk. Kita hendaklah hormat-menghormati antara satu sama lain dan menghormati hak kaum lain. Orang-orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertakwa kepadanya bukan kerana darjat, bukan kerana harta kekayaan, bukan kerana kedudukan pangkat serta bangsa. Oleh sebab itu, jadilah orang yang baik, jadilah rakyat yang baik, jadilah pentadbir yang baik dan jadilah pemimpin yang baik ke arah membina sebuah tamadun bangsa yang hebat dan cemerlang.
Akhir kata Yang Berhormat Puan Speaker, saya ucapkan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Benut sebenarnya, dalam konsep kepimpinan ini saya juga banyak belajar daripada orang lama dan saya buka fail-fail lama dan kita tidak menafikan jasa orang lama. Tapi namun begitu kita juga bertekad untuk memperbaiki apa yang kita ada selama ini. Dengan kata itu saya mohon maaf sekiranya dalam tempoh masa yang singkat 5, 6 bulan kita mentadbir, sekiranya ada kelemahan di sana sini jadi yang baik itu datang daripada Allah SWT yang kurang itu datang dari kelemahan diri saya sendiri. Sekian wabillahi taufiq walhidayah, asalamualaikum warahmatullhi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, jemput.
Terima kasih Puan Speaker. Salam sejahtera, salam perpaduan, salam kemahiran, salam harapan kepada semua Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu bersempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November lalu, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat serta mendoakan supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera. Mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku negeri Johor akan terus maju dan progress serta rakyat bangsa Johor hidup bermuafakat, Daulat Tuanku.
Sukacita juga saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2019 dengan tema iaitu ‘Menerajui Perubahan, Mengalas Harapan, Bangsa Johor Bestari’ dengan menggariskan 6 teras strategik di mana ianya menjadi asas usaha kerajaan negeri dalam memberikan suntikan serta lonjakan baru kepada pertumbuhan dan masa depan Johor akan datang.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya bangun menyertai perbahasan pada hari ini dengan kesetiaan dan kesungguhan dalam mendukung hasrat kerajaan dari akar umbi bagi memastikan ianya dapat difahami dan di hadam seluruh rakyat Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, pertama sekali saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Kahang, mengenai beliau bangkit isu mengenai hala tuju Unit Strategik Modal Insan. Hala tuju sama juga seperti lama iaitu membina pekerja terbaik, lebih berkemampuan, lebih efisien, lebih efektif dan sumbang kepada majikan. Beliau juga menyoal mengenai penukaran nama kepada Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI). Dengan penjenamaan kepada nama baru ini adalah untuk memudahcarakan pengenalan dan pemahaman rakyat Johor berkenaan fungsi unit ini.
Dari aspek korporat sendiri, nama yang mudah difahami dan dikenali akan memberi imej awal terhadap sesuatu jenama. ‘Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang’. Dahulu dikenali dengan nama Swadaya Insan Johor, sekarang Strategik Modal Insan Johor. Dalam masa yang singkat, sejurus pengambilalihan saya di jawatan ini, kita telah mengadakan perbincangan dengan pemegang-pemegang taruh melalui beberapa siri pertemuan yang secara tidak langsung telah memberi gambaran dan input kepada perancangan pembangunan modal insan bagi Belanjawan Johor 2019. Hasil dari kesemua maklum balas telah mensasarkan kepada 6 teras utama dalam agenda pembangunan modal insan yang bakal diterajui oleh unit ini iaitu:
1. Pemerkasaan SMI iaitu Unit Strategik Modal Insan sebagai badan koordinasi antara agensi terutamanya di dalam bidang penyelidikan dan informasi. 2. Mengumpulkan maklumat dan mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti dalam masa 5 tahun. 3. Pengurusan pekerja asing yang lebih efektif. 4. Pemerkasaan kerjasama awam swasta (public private partnership). 5. Penstrukturan dan koordinasi pembangunan kemahiran oleh agensi dan pusat latihan. 6. Penguatkuasaan akta dan galakan kepada suasana kerja yang kondusif.
Puan Speaker, kerja-kerja perpaduan asas telah digerakkan tanpa menunggu sehingga 2019. Saya meletakkan harapan yang tinggi dan akan memastikan unit ini akan terus berkembang dan menyumbang bagi kesejahteraan rakyat Johor khususnya SMI akan terus dijadikan sebagai penyelaras atau badan koordinasi kepada semua agensi yang berkepentingan pembangunan modal insan termasuklah agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri mahupun pihak swasta. Pengukuhan unit ini akan dijuruskan dari segi pengumpulan dan pengaliran maklumat berkaitan inisiatif dalam membangunkan modal insan negeri Johor.
200,000 peluang pekerjaan yang berkualiti akan diwujudkan dalam masa 5 tahun akan datang nanti. Ini sudah tentunya berkaitan dengan kemajuan industri sedia ada dan kedatangan industri ke negeri Johor ini. Sejak peralihan daripada bulan Mei lalu, dianggarkan 14,000 kekosongan jawatan telah wujud yang merangkumi kepada industri perkhidmatan dan peruncitan yang sedang berkembang seperti projek Mega Capital 21, Sogo Malaysia di Midvalley Southkey MegaMall, Family Mall, Hotel Westin dan banyak lagi. Kita mensasarkan lebih banyak lagi jawatan akan ditawarkan terutamanya daripada industri berimpak tinggi seperti aeroangkasa dan robotik pada masa akan datang.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Task Force Pengurusan Pekerja Asing Negeri Johor telah berjaya diadakan selepas dua bulan saya memegang jawatan ini. Namun, kedua-dua jabatan ini sedang melalui proses mengabaikan bagi mengenal pasti keberkesanan memandangkan pentadbiran lepas tidak menyediakan rangka kerja dan objektif yang jelas dalam menyusun semula gerak kerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing oleh majikan dan kemasukan serta pengurusan pekerja asing di dalam negeri ini. Ini termasuklah penelitian semula terhadap hasil kajian-kajian yang dilaksanakan sebelum ini iaitu Pelan Induk Kemahiran Negeri Johor, Kajian Keperluan Pekerja Asing dan Pelan Rasionalisasi Buruh Negeri Johor. Terdapat beberapa inti pati hasil kajian tersebut yang boleh diguna pakai dan dijadikan panduan kepada gerak kerja pada masa datang.
Namun begitu, perincian lebih mendalam perlu dilaksanakan dalam memenuhi dan disesuaikan dengan situasi dan dasar semasa kerajaan baru yang kini berada di dalam fasa penambahbaikan dan mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada di peringkat kerajaan. Saya melihat dengan teliti tentang semua perkara hasil dari pentadbiran terdahulu. Bukanlah saya yang ingin mencanang kelopongan dan permasalahan yang telah berlaku, namun hakikatnya itu yang kita nampak. Seperti kata pepatah Inggeris, dengan izinnya, If you want to make the world better a place, take a look at yourself and then make a change. Ya, itulah yang sedang kami lalukan. Kita semuanya golongan profesional, tidak perlu rasanya kami memberi nasihat kerana kita sama-sama tahu bidang tugas masing-masing dalam membantu usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat.
Seterusnya, unit ini juga berperanan bagi memperkasakan jalinan kerjasama antara awam dan swasta, iaitu public private partnership akan lebih dititikberatkan terutamanya dalam memperoleh input berkaitan kemajuan teknologi yang diguna pakai oleh pihak industri. Kita ingin mengurangkan jurang yang semakin lamanya sebahagian penawaran dan permintaan. Antara inisiatif yang akan dilakukan bagi mengurangi jurang ini dengan disegerakan oleh pusat-pusat latihan yang ada di negeri ini bagi memastikan kandungan modul pembelajaran seiring dengan apa yang dikehendaki oleh industri. 55% daripada bancian yang dibuat di kalangan majikan, didapati mereka sukar menempatkan pekerja tempatan disebabkan kelayakan tidak menepati keperluan majikan. Maka, bridging maklumat permintaan dan penawaran tenaga kerja akan dilopori oleh SMI sebagai badan koordinasi agensi di negeri Johor.
Selain itu, ekosistem kerja yang kondusif di samping pakej sosial pekerjaan yang menyeluruh akan dapat mengurangkan job hoping di kalangan belia kini. SMI akan berperanan dalam memberi kesedaran serta penekanan terhadap penguatkuasaan akta-akta berkaitan seperti Akta Kerja 1955 dan Akta PSMB 2001 serta galakan kepada pembentukan banyak kesatuan sekerja akan memberi daya penolak, push factor kepada pasaran pekerjaan dari segi peningkatan elaun dan gaji, pakej ganjaran dan manfaat kerja. Secara tidak langsung, pekerjaan yang berkualiti dapat diwujudkan dan target 200,000 peluang pekerjaan dapat dicapai.
Berdasarkan elemen-elemen penstrukturan semua tersebut, unit ini dilihat perlu melalui reformasi secara kolektif bagi memainkan peranannya sebagai penyelaras dan pemudah cara bagi agensi berkepentingan. Justeru itu, kesemua struktur dalaman, fungsi, hala tuju dan gerak kerja unit ini dikaji dan dibangunkan semula dan akhirnya menjurus penjenamaan unit secara keseluruhannya.
Yang Berhormat Puan Speaker, aspek pemerkasaan latihan kemahiran dan penetapan pekerjaan di kalangan rakyat tempatan sentiasa menjadi tulang kepada pembangunan modal insan negeri Johor. Penjenamaan semula dana di bawah Tabung Latihan Kemahiran Johor kepada Johor Reskilling dan Upskilling adalah bagi menekankan keperluan pelbagai kemahiran multi skills, sama ada kepada mereka yang belum atau sedang bekerja di kalangan rakyat Johor. 360 orang telah dilatih sejak bulan Julai yang lalu di bawah Tabung Latihan Kemahiran Johor, 45% daripadanya adalah belia India, 28% daripada jumlah tersebut adalah generasi FELDA.
Setakat November 2018, seramai 296 orang telah ditawarkan kerja dengan gaji permulaan yang ditawarkan dari RM1,100.00 sehingga berjaya mencecah RM5,000.00. Mereka bekerja di pelbagai jenis tahap pekerjaan tak kira sama ada daripada eksekutif gudang, juruteknik, pemandu trak, pembantu runcit, sehinggalah jurutera elektrik. Syarikat seperti Langsat OSC, TR River Walk, ELS Club, SAJ Ranhill, ST Micro Electronics, Hotel Berjaya Waterfront, Parkson Corporation, Petrol Sahabat dan banyak lagi telah mengambil pekerja mereka yang telah dilatih. Ianya satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Namun, rata-rata mereka yang dilatih telah betul-betul memenuhi keperluan industri sebagaimana maklum balas daripada industri yang memerlukan mereka yang berkarakter dan berkebolehan tinggi. Terutamanya dari segi aspek kebolehpasaran dalam
berkepimpinan, berkomunikasi, berinteraksi, berfikiran secara kritikal, kreatif, bijak mengurus masa dan kewangan serta berdaya saing. Modul-modul sebegini akan ditekankan di dalam Johor Reskilling dan Upskilling termasuklah di dalam bidang penyediaan ke arah Industri 3.0 dan 4.0 seperti pemesinan, kecerdasan, buatan, realiti maya, rekaan digital dan sebagainya.
Kita mensasarkan 100% penempatan kerja berbanding 82% penempatan kerja yang diperolehi pada tahun ini. Dan, penyertaan kumpulan sasar akan dibuka lebih luas kepada semua lapisan masyarakat dan kaum bukan sahaja kepada kaum masyarakat India dan generasi FELDA dan kaum-kaum lain juga. Jangan khuatir, kesamarataan akan diberikan kepada semua terutamanya kepada mereka yang betul-betul memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka.
Tumpuan sektor industri juga lebih luas termasuklah saranan daripada Yang Berhormat ADUN Tanjung Surat di dalam membangunkan kemahiran bagi industri minyak dan gas serta bioteknologi, dengan kerjasama agensi seperti Johor Petroleum Development Corporation Board dan Johor Biotech. Jika dahulunya belanjawan pembangunan modal insan hanya menumpu kepada bahagian penawaran, supply, tenaga kerja dengan program-program latihan dan inovasi pada tahun depan melalui penjenamaan SMI kita telah mengimbangi peruntukan tersebut kepada bahagian permintaan iaitu demand dan sokongan tenaga kerja.
Pertamanya, pemeriksaan jaringan, public private partnership dengan program SMI Synergy Industry. Sekiranya karnival kerjaya menyediakan ruang interaksi kepada mereka yang mencari kerja, SMI Synergy Industry menyediakan platform kepada mereka yang mencari pekerja untuk menyuarakan pandangan dan keperluan industri melalui konvensyen dan dialog. Maklumat keperluan dan peluang pekerjaan sebenar seperti teknologi dan sistem terkini yang diguna pakai dapat dikongsi dan dipanjangkan kepada badan-badan akreditasi dan pensijilan serta penyedia latihan sedia ada di negeri Johor.
Keduanya, pemerkasaan dan peningkatan kemahiran pelatih dengan program SMI Apprentice dan SMI Train The Trainers. Kita akan menyediakan dana bagi meningkatkan kepakaran di kalangan pelatih dengan pemindahan kepakaran dan pembelajaran di industri serta mengakredasi pengalaman dan penyampaian pelatih dengan pensijilan peringkat nasional. Inisiatif SMI Apprentice dan SMI Train The Trainers ini akan menyediakan tenaga pengajar mahir dan berkepakaran terkini seiring dengan kemajuan teknologi semasa negeri Johor.
Ketiganya, pemerkasaan pentauliahan penasihat kerjaya di Johor melalui program SMI Penasihat Kerjaya. Maklumat daripada pihak Jabatan Tenaga Kerja telah menyatakan bahawa jumlah penasihat kerjaya yang diiktiraf, career advisor di seluruh Malaysia adalah tidak mencukupi. Halangan ini amat membimbangkan. Mengikut penasihat kerjaya inilah yang akan membantu dan memberi bimbingan kepada pelajar-pelajar dalam hala tuju pembangunan kerjaya mereka pada masa akan datang. Seramai 30 orang penasihat kerjaya akan ditauliahkan dari segenap daerah di negeri Johor melalui program ini. Selain itu, pendedahan kepada generasi muda turut akan ditumpukan pada tahun depan terutamanya di dalam pengembangan tyrex dan mengenalkan Industri 4.0 dengan potensi kerjayanya.
Kita menyambut baik saranan daripada Yang Berhormat ADUN Pulai Sebatang. Program yang mana baik dan memberi manfaat kepada rakyat Johor seperti Karnival Kerjaya dan Azam Kerja kita tidak lupa malah akan diteruskan dan pendekatannya akan diolah supaya semua rakyat di setiap daerah akan menerima manfaat daripada program-program tersebut. Tiada istilah copy and paste di dalam kerajaan Pakatan Harapan namun, kita tetapkan buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Oleh itu saya tegaskan sekali lagi apa jua yang kita lakukan adalah untuk rakyat dan negeri Johor. Kalau perkara ini baik, kita teruskan. Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang berlainan, bukan kerajaan yang dahulu.
Dalam menjawab soalan Yang Berhormat Tanjung Surat dan ADUN Penawar berkenaan Latihan Kemahiran dalam oil and gas. Saya menyatakan bahawa di bawah JPDC inisiatif yang berbentuk program latihan adalah merupakan program latihan intensif, jangka pendek yang diberikan secara percuma dan mendapat pensijilan akreditasi industri yang diperlukan untuk kelayakan bekerja di Pengerang Johor. Antara program yang telah dijalankan merangkumi bidang teknikal dan khidmat sokongan seperti yang dilampirkan tapi ini ialah satu yang panjang. Seramai 95% belia telah mendapat pekerjaan selepas menjalani latihan mengikut program dan pensijilan yang diberikan. Satu program teknikal dan perkhidmatan sokongan 3,278 orang, program lepasan ijazah 400 orang dan jumlah keseluruhan ialah 3,678.
Manakala bagi graduan Johor, terdapat 2 program yang khusus telah dilaksanakan oleh JPDC dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan kerajaan negeri Johor iaitu Program APIPC Bridging Gap Industry Hiliran Minyak Dan Gas. Itu satu. Dan dua ialah, Program Orientasi Minyak Dan Gas. Program ini telah berjaya melatih 100 orang graduan tempatan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Tenang telah mengutarakan soal berkenaan peranan kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan kempen kesedaran untuk menanganinya. KPDNHEP iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa melaksanakan Program Kesedaran Pengguna sepanjang tahun sehingga 30 November 2018 sebanyak 157 program kepenggunaan telah dilaksanakan menerusi penglibatan 50 buah kelab pengguna sekolah, melibatkan 5,000 pelajar. 8 buah gerakan pengguna siswa melibatkan 2,000 mahasiswa, 10 badan bukan kerajaan dan komuniti.
Untuk pengetahuan semua Ahli Yang Berhormat, terdapat 8 hak pengguna yang telah diterima secara universal iaitu hak mendapat keperluan asas, hak mendapat keselamatan, hak mendapat maklumat, hak membuat pilihan, hak bersuara, hak mendapat ganti rugi, hak mendapat pendidikan pengguna dan hak mendapat alam sekitar yang sihat dan selamat.
Friends Of KPDNHEP merupakan salah satu inisiatif kerajaan sebagai platform untuk mewujudkan pengguna berinformasi, mempunyai semangat sukarelawan bagi membantu melindungi pengguna dari penyelewengan peniaga yang tidak beretika dan mampu mengamalkan perlindungan kendiri, self protection serta penyebaran maklumat berkaitan kepenggunaan. Berdasarkan statistik terkini, terdapat lebih daripada 80,000 ahli Friends Of KPDNHEP merangkumi 26 buah parlimen di seluruh negeri Johor. Oleh yang demikian, ianya penting untuk setiap pengguna tahu dan memahami 8 hak pengguna ini demi kepentingan diri supaya menjadi pengguna bijak. Komuniti setempat memainkan peranan yang amat penting dalam memberi kesedaran kepenggunaan kepada masyarakat setempat untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat dengan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam melaporkan tindakan-tindakan tidak beretika oleh peniaga tamak yang menafikan hak-hak pengguna.
Yang Berhormat Puan Speaker,
Masih panjang lagi?
Ya.
Saya bagi 3 minit lagi ya.
3 minit? Ok. Dari segi perpaduan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Bukit Naning yang mengangkat isu perpaduan kaum di Dewan yang mulia ini. Puan Speaker, masyarakat berbilang kaum merupakan aset terbesar bagi negara kita, Malaysia. Arah tuju masa hadapan negara adalah bergantung kepada sejauh mana kejayaan kita dalam menguruskan kerencaman. Masyarakat yang merupakan cabaran kepada usaha-usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di negara ini. Namun begitu, kejayaan Malaysia dalam menguruskan perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini sering dilihat sebagai negara contoh atau model yang menggambarkan kemakmuran yang positif.
Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sentiasa peka dengan serangan berbaur perkauman sehingga boleh mencetuskan pertelingkahan berhubung isu agama dan kaum. Oleh itu, menyedari cabaran-cabaran ini, perpaduan menggunakan 2 strategi di dalam tindakannya. Iaitu strategi pendidikan dan strategi pendampingan. Tujuannya adalah untuk meningkat, mengukuh dan memelihara perpaduan kaum. Ada juga beberapa langkah-langkah tapi tidak ada masa.
Jadi ADUN, Yang Berhormat Sungai Balang juga menanyakan tentang tempoh pelantikan Jawatankuasa Rukun Tetangga. Di bawah Seksyen 7 (4), pelantikan Jawatankuasa Rukun Tetangga, seorang Anggota Jawatankuasa Rukun Tetangga hendaklah memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun dan layak untuk dilantik semula apabila habis tempoh jawatannya tetapi tidak boleh dilantik untuk lebih daripada 3 penggal berturut-turut melainkan dengan kelulusan Pengarah Perpaduan.
Jadi, akhir kata besarlah harapan saya supaya bajet 2019 yang di bentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar memberi kebaikan dan kemajuan kepada pembangunan modal insan dan rakyat negeri Johor keseluruhannya. Sekian terima kasih.
Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains Dan Teknologi, jemput.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi kesempatan untuk, memberi saya kesempatan untuk membuat penggulungan atas perbahasan kali ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang ke-60 pada 22 November yang lalu, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan berdoa supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada, sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pandangan dan nasihat daripada semua Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini terhadap belanjawan negeri Johor tahun 2019 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 29 November yang lalu terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan portfolio saya.
Yang Berhormat Puan Speaker, keputusan 9 Mei yang lalu telah memberi satu mesej yang sangat jelas daripada rakyat, iaitu sekiranya sesebuah kerajaan tidak dapat menjalankan amanah dan mandat yang diberikan oleh rakyat dengan bersih, cekap dan amanah, rakyat akan berani menggunakan hak mengundi mereka untuk mengalihkan tampuk pemerintahan. Ini memberi tekanan yang kuat kepada saya dan rakan-rakan di sebelah sini. Justeru itu, kami di sini komited untuk memastikan kerajaan baru ini bersih, cekap dan berpaksikan rakyat dengan berteraskan prinsip tadbir urus yang baik atau dengan izin good governance supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Dengan semangat Malaysia baru saya dan rakan-rakan di sini komited untuk mengangkat nilai demokrasi menjayakan agenda reformasi dan sedaya upaya tidak akan mengulangi kesilapan masa dahulu.
Yang Berhormat Puan Speaker, belanjawan tahun 2019 yang inklusif dan komprehensif ini disifatkan sebagai belanjawan rebranding. Saya jangka orang yang berkata sedemikian disebabkan mereka sentiasa berfikir sedemikian dan minda mereka penuh dengan perkataan rebranding. Agak-agaknya, parti yang telah ditolak oleh rakyat sedang memikirkan apakah cara yang baik untuk membuat rebranding pada parti diri dia sendiri dan menyebabkan minda mereka penuh dengan perkataan ini. Dan apa-apa dalam mata mereka akan dilihat sebagai rebranding.
Yang Berhormat Benut dalam perbahasan beliau telah menyentuh tentang isu bahawa pembangkang tidak diberi langsung ruang dan peluang. Perkara ini merupakan tuduhan liar yang merupakan polemik politik untuk memburuk-burukkan imej kerajaan Pakatan Harapan. Sebagai sebuah kerajaan yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi, Pakatan Harapan menyedari bahawa pembangkang memainkan peranan yang penting dalam menyemak dan mengimbangi kerajaan apatah lagi kami yang duduk di sini ramai dulu pernah duduk di sana sebagai pembangkang dan banyak memberi pandangan-pandangan konstruktif dan ada di antaranya telah diangkat dan dilaksanakan atau dilancarkan oleh kerajaan yang terdahulu.
Yang Berhormat Puan Speaker, antara program-program yang dilancarkan atas cadangan daripada kami sebelum ini, apakah salahnya sekiranya program-program ini adalah baik dan sekiranya ada yang kurang kita tambah baikkan, apakah salahnya. Saya nak tegaskan di sini bahawa baik parti mana yang memerintah, negara ini memerlukan penglibatan parti pembangkang yang efektif untuk memastikan bahawa hala tuju negara kita tidak terpesong. Selaras dengan semangat ini, kami telah memberi pengiktirafan dan ruang kepada pembangkang, bukan sahaja pada peringkat kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri malah sehingga ke peringkat kerajaan tempatan. Saya berharap pembangkang dapat menyesuaikan diri dengan identiti mereka sebagai parti pembangkang dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang profesional, konstruktif dan bertanggungjawab.
Yang Berhormat Puan Speaker, Seksyen 23 Akta Kerajaan Tempatan Tahun 1976, telah menyatakan bahawa semua mesyuarat Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah terbuka kepada orang ramai dan kepada wakil-wakil akhbar melainkan jika selainnya diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan itu dengan ketetapan dalam mesyuarat itu, dengan syarat bahawa Seksyen in tidak boleh dipakai bagi mana-mana Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan melainkan jika selainnya diputuskan oleh jawatankuasa itu dengan ketetapan. Ini maksud, orang ramai ini, merangkumi parti pembangkang.
Maka, sebagai kerajaan yang mengamalkan sifat prinsip demokrasi dan ketulusan serta Rule Of Law kerajaan tempatan mengalu-alukan penglibatan pembangkang dan orang awam dalam mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23, Akta 121. Kejadian di mana pembangkang akan diminta keluar daripada mesyuarat penuh atas tekanan politik seperti apa yang berlaku semasa saya menyandang jawatan sebagai ADUN Mengkibol tetapi diminta keluar daripada, ya minta keluar daripada mesyuarat, ini tidak akan berulang dalam pemerintahan parti kerajaan pakatan. Untuk memberi kepastian dalam perkara ini saya juga telah mengarahkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan supaya mengangkat prinsip Seksyen 23 dan membenarkan semua orang termasuk pembangkang untuk menyertai, menghadiri mesyuarat penuh Pihak Berkuasa Tempatan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Panti telah menyentuh soal membazirkan peruntukan wang untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi Pelan Transformasi Digital Negeri Johor dan kenapa tidak mengguna pakai pelan tindakan digital Johor atau Johor 4.0 yang telah dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Pelan Transformasi Digital Negeri Johor yang akan disediakan adalah berasaskan kepada pelan tindakan digital johor yang telah dilancarkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Walau bagaimanapun inisiatif yang terdapat dalam pelan tindakan tersebut akan ditambah baik, khususnya dalam aspek koordinasi perancangan dan pelaksanaan antara agensi. Kita bukan kerajaan yang macam dahulu, selalu buat pelan tetapi gagal dalam aspek pelaksanaannya.
Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mendigitalkan perkhidmatan kerajaan supaya dapat memudahkan orang awam melicinkan lagi pentadbiran, meningkatkan ketelusan dan kredibiliti menangani rasuah atau duit kopi. Mana-mana inisiatif yang bermanfaat dikekalkan dan diguna pakai manakala inisiatif-inisiatif perlu ditambah baik, perlu dikaji semula demi kebaikan semua. Untuk pembangunan sistem usaha mempertingkatkan sistem sedia ada dan memenuhi kepenuhan, keperluan sistem baru akan dilaksanakan. Sebagai contoh Sistem Hasil Tanah Johor versi 2 yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Panti akan ditambah baik pada tahun hadapan melalui permintaan perubahan atau dengan izin change request. Modul amanah dibangunkan untuk pengurusan wang amanah yang lebih cekap dan telus. Modul pelaporan pula dipertingkatkan keupayaannya supaya dapat membantu dalam pemantauan dan unjuran kutipan hasil.
Selain itu, kerajaan negeri berusaha mendigitalkan pentadbiran PBT seperti sistem e-PBT yang digunakan secara bersepadu di semua PBT negeri Johor. Terdapat 24 modul yang terkandung dalam sistem ini termasuklah pengurusan kutipan, pengurusan akaun, pengurusan pemberian, pengurusan bayaran, pengurusan aset, pengurusan wang amanah, cukai, penilaian, lesen, sewa, kompaun, e-Khidmat dan pelaporan kepada SUK. Buat masa ini, kesemua PBT telah mengguna pakai sistem e-PBT dan purata penggunaan keseluruhan modul yang dibangunkan adalah sekitar 75%, namun sistem e-PBT dikemukakan dalam laporan ketua audit negara 2017 siri 2. Antara isu yang disebut adalah perjanjian e-PBT ditandantangani oleh kerajaan negeri, PBT dan MSC Cyberport Sdn. Bhd. pada 1 Mac 2010 bagi tempoh 10 tahun secara Private Finance Inisiative (PFI). Pembangunan sistem e-PBT perlu siap dalam tempoh 18 bulan yang ditetapkan adalah pada 31 Ogos 2011. Kerajaan negeri Johor terdahulu juga melalui MMK pada 20 Julai 2016 memutuskan bahawa tarikh siap kerja sistem e-PBT adalah pada 1 Julai 2016. Di situ kita lihat kecekapan kerajaan terdahulu.
Dalam beberapa tahun yang lalu, PBT terpaksa menyesuaikan diri dalam memanfaatkan sistem e-PBT ini. Alhamdulillah, penggunaan sistem e-PBT sekarang sudah menjadi lebih mantap dan sedikit sebanyak masalah yang dihadapi oleh PBT dan MSC Cyberport telah dapat di atasi. Justeru, kerajaan Pakatan Harapan menggesa semua PBT memanfaatkan sistem e-PBT ini dan mengimplementasikan cadangan daripada laporan ketua audit negara supaya dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam mengurangkan 50% urusan di kaunter dan mencapai matlamat 50% transaksi secara atas talian. Bagi memastikan perkara ini tercapai dalam masa 5 tahun, MSC Cyberport juga akan memberi bantuan kepada pihak PBT dengan memberikan khidmat nasihat dan latihan.
Selain itu, kerajaan juga bekerjasama dengan MSC Cyberport untuk menaik taraf sistem e-PBT ke aplikasi mudah alih, mobile apps. Usaha ini adalah selaras dengan trend pengguna masa kini yang telah beralih dari komputer ke telefon pintar. Sementara itu, penggunaan sistem OSC online boleh diguna pakai oleh orang ramai untuk membuat permohonan melalui Unit Pusat Sehenti atau OSC di e-PBT di Pihak Berkuasa Tempatan. Ia juga turut memberi akses kepada 11 agensi teknikal antaranya ialah Bomba, TNB, JKR, JPS, SAJ dan lain-lain untuk memberi ulasan secara atas talian.
Kerajaan negeri juga menggalakkan semua PBT memuat naik segala dokumen berkaitan dengan PBT seperti garis panduan, undang-undang kecil, belanjawan PBT dan permohonan atas talian serta membuat hebahan kepada orang awam supaya agenda reformasi dapat dilaksanakan secara telus. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan bukan sahaja menambah baik sistem yang sedia ada tetapi kita juga mempunyai inisiatif dan rancangan baru. Pelbagai sistem ICT baik untuk penggunaan dalaman mahupun untuk penggunaan pihak awam telah dirancang untuk tahun 2019.
Selain daripada Sistem e-Wallet yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa membentangkan Belanjawan Tahun 2019, sistem baru yang akan dibangunkan pada tahun hadapan termasuklah Sistem Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Sistem ini akan membantu pengurusan bantuan kepada pejuang kanser di bawah kelolaan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Sistem e-Veterinar juga akan dibangunkan untuk kegunaan Jabatan Veterinar dalam mengurus dan memantau program-program penternakan yang dijalankan. Akhir sekali, Sistem Pengurusan Maklumat Ahli Dewan Negeri Johor akan dibangunkan pada tahun 2019 untuk memastikan pengurusan maklumat anggota pentadbiran dan Ahli Dewan termasuk ke perjawatan, persaraan, kemudahan dan keistimewaan dilaksanakan secara bersistem. Sistem ini disertakan dengan sokongan aplikasi mudah alih, atau mobile apps untuk kemudahan pengguna. Adakah inisiatif ataupun rancangan baru seperti e-Wallet, Sistem Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Sistem e-Veterinar dan Sistem Pengurusan Maklumat Ahli Dewan Negeri Johor adalah sesuatu rancangan yang copy paste atau pun rebranding?
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Layang-Layang telah menyentuh, mempersoalkan, isu kewujudan Laman Web Kad Sihat Johor. Seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, laman web ini untuk perkhidmatan atas talian, boleh diakses, di URL yang berikut. Saya harap Yang Berhormat-Yang Berhormat ataupun siapa-siapa yang tidak maklum tentang perkara ini, ambil kertas dan buat catatan. Jangan nanti kata tak ada laman web ini. Iaitu laman web dia ialah www.majusihat.com.my. Buat masa ini Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Khidmat Pengurusan dan pejabat-pejabat daerah telah dibekalkan ID Pengguna dan kata laluan masing-masing untuk mengakses sistem tersebut. Sistem atas talian yang disediakan buat masa ini juga menyediakan maklumat klinik panel.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Senai telah menyentuh isu Johor Wifi. Projek Johor Wifi Fasa 1 dilancarkan pada 30 Ogos 2015 dan telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016 di 134 lokasi Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negeri Johor. Dari segi penggunaan sehingga November 2018, perkhidmatan Johor Wifi mempunyai 382, 224 orang pengguna berdaftar dengan purata sesi penggunaan sebanyak 406,176 setiap bulan. Pada peringkat awal pelaksanaannya, kerajaan negeri telah mendapat cadangan lokasi-lokasi yang bersesuaian daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri Johor. Kawasan-kawasan yang diketengahkan ini merupakan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti menjadi tumpuan orang ramai dan tarikan pengunjung. Berdasarkan cadangan yang diperolehi, pihak teknikal daripada Bahagian Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor telah menjalankan kajian dan lawatan tapak bersama-sama wakil PBT dan pembekal perkhidmatan internet bagi mengenal pasti kesesuaian pemasangan Johor Wifi di lokasi-lokasi berkenaan. Faktor utama yang diambil kira adalah infrastruktur asas telekomunikasi dan ketersediaan perkhidmatan internet di samping infrastruktur elektrik bagi keperluan peralatan wifi. Selain infrastruktur, hak milik tanah bagi kawasan yang akan dipasangkan Johor Wifi juga perlu diambil kira. Empat lokasi hotspot yang mencatatkan penggunaan tinggi iaitu melebihi 5% sesi log masuk pengguna setiap bulan telah dipertingkatkan kelajuannya daripada 4 mbps kepada 8 mbps melalui projek Wifi, Projek Johor Wifi Fasa 2. Untuk makluman, statistik penggunaan Johor Wifi di kawasan Senai, iaitu Dataran Cahaya Bukit Liki, Hutan Bandar Putra, dan Flat Temenggong, jumlah sesi log in telah mencatatkan peningkatan daripada 5,217 kali log in pada bulan Januari hingga sekarang. Minta maaf, pada bulan Januari 5,217 sehingga pada bulan Oktober, 18,509 kali log in.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Benut telah juga menyentuh soal pendirian kerajaan negeri terhadap pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bagi melantik Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan. Cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan sedang di peringkat kajian oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui sesi bengkel atau perbincangan bagi mengumpul input yang relevan seterusnya mencari kaedah yang terbaik bagi pembentukan dan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Sesi Taklimat Amalan Terbaik Pelaksanaan Pilihan Raya Tempatan telah melibatkan Ahli Majlis akan diadakan sempena Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya pada 10 Disember akan datang. Kerajaan Tempatan berpandangan
cadangan mengadakan pemilihan Ahli-Ahli Majlis melalui proses pilihan raya akan memberi peluang pembayar cukai memilih calon-calon terbaik untuk menguruskan Kerajaan Tempatan. Kita Kerajaan Pakatan Harapan tidak gentar dengan persaingan, tidak seperti kerajaan terdahulu yang takut kepada Pembangkang. 50 tahun pun tidak berani mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Di samping mewujudkan persaingan sesama Ahli Majlis ke arah lebih baik sekali gus meningkatkan prestasi kerja seterusnya menjadikan Institusi Kerajaan Tempatan lebih cekap dan telus di dalam pengurusan dan pelaksanaan dasarnya kepada rakyat jelata.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Sri Medan telah menyentuh soal pembinaan Balai Bomba di kawasan Parit Sulong. Untuk makluman, pembinaan sesebuah balai bomba adalah berdasarkan penilaian terhadap beberapa kriteria seperti jumlah penduduk, tahap risiko kebakaran, keluasan kawasan jagaan, faktor geografi dan keperluan strategik. Pada ketika ini, Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng akan memberi respons terhadap panggilan kebakaran dan kecemasan di kawasan Parit Sulong dan kawasan berhampiran dengannya. Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengenal pasti tapak yang sesuai untuk dibina sebuah balai bomba iaitu Lot 16399, Mukim Seri Medan, Parit Sulong. Keluasan tanah tersebut 1.199 Hektar. Tapak yang dikenal pasti itu merupakan tanah milik persendirian berstatus pertanian dan jaraknya daripada Balai Yong Peng adalah lebih kurang 27km. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor telah memajukan permohonan kepada Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya bagi urusan pengambilan tanah.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagi cadangan daripada Yang Berhormat Pasir Raja, untuk mewujudkan PBT di kawasan-kawasan FELDA. Saya mentafsirkan cadangan tersebut adalah meminta supaya PBT menyediakan perkhidmatan di Kawasan FELDA bukannya mewujudkan PBT. Untuk perkara ini, ianya melibatkan beberapa isu perundangan seperti yang berikut. Yang pertama, adakah peneroka-peneroka telah diberikan hak individu. Adakah kawasan ini telah dikeluarkan daripada kawasan penempatan berkelompok atau pun dengan lebih spesifik telah dikeluarkan daripada kawasan FELDA. Sekiranya telah mendapat hak pun, adakah penduduk di kawasan FELDA telah bersedia untuk membayar cukai kepada PBT. Pendek kata, PBT tidak boleh menyediakan perkhidmatan di kawasan tidak bercukai.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam isu Miskin Tegar Bandar yang disebut oleh Yang Berhormat Bukit Permai, KPKT telah pun melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar atau PPKB yang bertujuan untuk membantu kumpulan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, meningkatkan kualiti hidup di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga. Kumpulan sasar PPKB adalah terdiri daripada isi rumah B40 iaitu terdiri daripada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,860.00 sebulan dan ini termasuk isi rumah miskin tegar dan miskin. Kumpulan sasar PPKB hendaklah berstatus warganegara dan status kemiskinan mereka telah disahkan dalam sistem e-Kasih atau Mesyuarat Focus Group mengenai Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri atau Daerah atau seperti yang diarahkan oleh kerajaan.
Selain itu, kerajaan negeri juga mewujudkan Yayasan di setiap PBT negeri Johor. PBT melalui Yayasan merancang dan melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada komuniti serta golongan sasar yang memerlukan bantuan di dalam kawasan masing-masing. Program-program tersebut dirangka bagi mengatasi masalah kos sara hidup, meningkatkan kualiti kehidupan, mengurangkan jurang ekonomi sosial dan masyarakat serta lain-lain yang dirasakan perlu.
ADUN Yong Peng melalui Yang Berhormat Penggerang telah menyoalkan tentang status Yayasan Harapan Majlis Daerah Yong Peng. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Yayasan PBT telah ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan Tahun 1952) Akta 258. Penubuhannya adalah bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti hidup dalam lingkungan sesuatu kawasan PBT terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Sehingga kini sebanyak 6 PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Daerah Pontian yang telah berjaya memperolehi Sijil Pemerbadanan Yayasan bagi PBT masing-masing, manakala baki 9 lagi PBT termasuk Yayasan Harapan Majlis Daerah Yong Peng, penubuhan Yayasan masih dalam proses pendaftaran. Bahagian Kerajaan Tempatan bersama dengan Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang Jabatan perdana Menteri sedang dalam proses menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan penubuhan Yayasan PBT bagi memastikan ianya mematuhi dasar dan perundangan yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Puan Speaker, berkenaan dengan masalah kerja-kerja pemotongan rumput yang tergendala yang disebut oleh Yang Berhormat Bukit Permai, perkara ini telah diambil oleh Majlis Perbandaran Kulai demi kesejahteraan masyarakat setempat walaupun kita sedar bahawa perkara ini bukan berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan. Bermula 1 Disember yang lalu, pihak MPKU telah mengambil inisiatif untuk membantu melengkapkan kerja-kerja memotong rumput di jalan-jalan persekutuan dalam kawasan pentadbiran MPKU yang sebelum ini dilaksanakan oleh Pihak Selia Selenggara. Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan jalan-jalan yang berikut. Yang pertama Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, yang kedua Jalan Airport Senai, ketiga Jalan Seelong, keempat Jalan Kempas Lama, kelima Jalan Kulai-Kota Tinggi, keenam Jalan Kulai - FELDA Inas dan akhirnya Jalan Sawah, jalan ke tol Kulai.
Yang Berhormat Puan Speaker, dari Kulai sekarang kita beralih ke Mersing. Sebenarnya isu pengambilan kaum India sebagai penjawat PBT yang disebut oleh Yang Berhormat Tenggaroh telah pun dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang dan telah saya jawab dalam Persidangan yang lepas. Saya tidak pasti sama ada Yang Berhormat Tenggaroh terlepas pandang ataupun beliau mudah lupa, tapi, tidak mengapa. Saya tetap bersabar. Sekali lagi saya ingin ingatkan kepada pembangkang bahawa rakyat telah menolak politik perkauman yang dimain-mainkan oleh mereka selama 60 tahun yang lalu. Cukuplah. Sekarang Malaysia sudah masuk ke era baru. Janganlah mengapi-apikan sentimen perkauman lagi terutama dalam Dewan yang mulia ini. Kita di sini dipilih oleh rakyat untuk membincangkan dasar dan hala tuju untuk tanah air tercinta ini bukan untuk berpolitik atau memainkan sentimen dalam Dewan yang mulia ini.
Apa pun, demi mengelakkan pembangkang mengulangi soalan yang sama dalam Persidangan akan datang ataupun akan dikatakan bahawa EXCO tidak menjawab pada soalan yang ditimbulkan, suka saya maklumkan bahawa kita bukan sahaja telah memenuhi apa yang diminta oleh kedua-dua Yang Berhormat daripada Tenggaroh dan Kahang, malah, jumlah perjawatan yang diambil di kalangan masyarakat India jauh lebih banyak daripada angka 80 orang kaum India seperti yang diminta oleh mereka. Kini, terdapat seramai 133 orang daripada kaum India telah dilantik dalam pelbagai gred jawatan di semua PBT negeri Johor pada tahun ini. Mungkin kedua-dua Yang Berhormat ada kebimbangan bahawa kerajaan terlupa dan ataupun terlepas pandang terhadap permintaan mereka ini. Jangan bimbang. Kerajaan tidak akan sekali memberi peluang kepada pembangkang untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagi isu perancangan PBT untuk merencanakan lebih banyak pembinaan gerai-gerai sememangnya PBT selalu mengambil berat golongan peniaga bermodal kecil. Pihak MPKu melalui bajet pembangunan telah menyediakan peruntukan bagi keperluan menaik taraf, membaik pulih dan membina ruang niaga pada setiap tahun. Bagi tahun 2019, perancangan adalah menaik taraf gerai di pasar awam Kulai, membina tapak niaga food truck di Hutan Bandar dan membaik pulih kerosakan-kerosakan kecil gerai dan ruang niaga. Selain itu, pihak PBT juga tidak ada mengeluarkan lesen kepada warga negara asing untuk menjalankan perniagaan-perniagaan kecil di premis-premis perniagaan terutamanya premis-premis milik kerajaan. Hanya peniaga yang berstatus warga negara Malaysia sahaja yang dilesenkan bagi perniagaan-perniagaan kecil di premis-premis perniagaan. Kerajaan negeri menyeru supaya orang awam membuat aduan ke atas kes-kes peniaga warga asing kepada PBT dan PBT akan mengambil tindakan terhadap mereka.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagi isu yang ditimbulkan oleh Tangkak, bahawa proses kelulusan permohonan pemajuan terlalu panjang di peringkat PBT. Suka saya maklumkan bahawa proses kelulusan bagi semua permohonan pemajuan di PBT adalah tertakluk kepada tempoh piagam OSC yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT seperti berikut:
1. Kebenaran merancang adalah 38 hari. 2. Pelan bangunan adalah 28 hari. 3. Pelan kejuruteraan adalah 50 hari.
Bagi aduan yang ditimbulkan oleh Tangkak bahawa ada permohonan pembangunan yang tidak dapat dibentangkan di Jawatankuasa OSC kerana masih dalam proses pre-consult. Perkara ini mungkin kes-kes yang terpencil. Yang mungkin berpunca daripada kelalaian pegawai-pegawai tertentu ataupun pada kebanyakan masanya adalah kesilapan atau kekurangan pemaju itu sendiri.
Yang Berhormat Puan Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Larkin, Yang Berhormat Senai dan Yang Berhormat Tangkak yang sentiasa prihatin dan peka terhadap kebajikan Ahli-Ahli Majlis kita. Tetapi kita perlu berhati-hati dalam isu ini. Jangan besok nanti pembangkang
akan menyerang kerajaan kononnya Ahli Majlis kita baru sahaja dilantik sudah tak sabar nak naik elaun. Dan perkara ini tengah hangat dibincangkan dalam media-media sosial juga. Dulu Ahli Majlis boleh hidup dibayar elaun hanya RM600.00 hingga RM900.00 sebulan. Ini bukan bermaksud mereka ini cekap sangat. Hakikatnya apa yang dipentingkan oleh mereka sebenarnya bukanlah berapa elaun yang dibayar kepada mereka, untuk Ahli-Ahli Majlis yang lama ini, tetapi kedudukan sebagai ahli majlis itu sendiri. Ini disebabkan kedudukan ahli majlis itu bermaksud mereka boleh mencari kesempatan dari situ. Mereka hidup bukan bergantung pada elaun tetapi kontrak-kontrak ataupun kerja-kerja sampingan yang lain. Ini untuk Ahli-Ahli Majlis yang lama. Kita sebagai kerajaan yang baru berhasrat untuk menegakkan semula sistem yang telah dirosakkan oleh pihak sana, dan jangan mengulangi kesilapan mereka. Saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat-Yang Berhormat bahawa dengan memberikan elaun yang terlalu rendah, malah jauh lebih rendah daripada gaji minima hanya akan dijadikan alasan oleh Ahli Majlis kita untuk mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu. Bagaimanapun, perkara ini perlu ditangani dengan teliti supaya ianya tidak akan membebankan Pihak Berkuasa Tempatan terutamanya PBT yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Kerajaan akan meneliti perkara ini dan menjalankan penyelarasan elaun secara berperingkat. Justifikasi, semakan semula elaun ini akan mengambil kira peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap ahli majlis dalam bidang perancangan dan pembangunan pihak berkuasa tempatan yang semakin mencabar, memandangkan pelantikan seseorang ahli majlis adalah bertujuan untuk membantu PBT di dalam membuat dasar, merancang dan mengawasi pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT. Namun begitu, selain daripada kemampuan kewangan PBT, pelarasan semula elaun ini juga perlu mengambil kira prestasi kerja Ahli Majlis. Mereka harus terlebih dahulu membuktikan kebolehan masing-masing untuk mewakili kepentingan masyarakat setempat di kawasan PBT, seterusnya memberi perkhidmatan yang cemerlang.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Panti dan Maharani telah menyentuh tentang isu kerajaan negeri memperuntukkan RM13. Juta kepada 11 daripada 16 Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan geran keseimbangan negeri di bawah teras kesejahteraan rakyat iaitu dinamik keupayaan kerajaan tempatan dalam Belanjawan Tahun 2019. Pihak Berkuasa Tempatan negeri Johor sentiasa membuat pemantauan dan penyelenggaraan di setiap pasar awam, gerai-gerai untuk mewujudkan ruang niaga yang lebih selesa dan kemas. Setiap aduan yang diterima daripada orang awam dan peniaga-peniaga akan segera di baik pulih mengikut kemampuan kewangan. PBT juga melaksanakan penambahbaikan ke atas setiap teguran yang telah dikeluarkan berdasarkan laporan pihak audit dari semasa ke semasa. Pengesahan setiap kerja yang dikeluarkan sentiasa memenuhi keperluan dan spesifikasi kerja yang dikeluarkan. Bagi kerja-kerja yang tidak memenuhi spesifikasi kerja, PBT akan memastikan setiap kontraktor untuk membuat pembetulan dan pembaikan. Selain itu, PBT juga melaksanakan penambahbaikan dengan menubuhkan Unit Perolehan bagi menguruskan dan memantau segala urusan perolehan yang akan dilakukan oleh PBT, kerajaan negeri dan persekutuan. PBT juga berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan kepada setiap anggota yang terlibat dengan proses perolehan projek serta kewangan dengan mengadakan atau menghantar setiap anggota tersebut ke kursus dan latihan yang berterusan bagi memantapkan lagi proses pelaksanaan perolehan kerajaan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam pekeliling kewangan kerajaan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Perling telah menyentuh tentang isu meminta PBT longgar syarat kepada kumpulan busking untuk mempelbagaikan aktiviti dan merancakkan keadaan budaya negeri Johor. Untuk makluman Perling, pihak PBT tidak mempunyai sebarang peruntukan undang-undang bagi melesenkan mereka. Namun, PBT tidak pernah menghalang kumpulan busking bagi membuat persembahan di tepi jalan selagi tidak menggugat ketenteraman awam.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Semarang telah menyentuh tentang isu orang Johor Bahru menjadi Ahli Majlis Daerah Yong Peng. Saya ingin menasihatkan Yang Berhormat Semarang, walaupun saya sedar bahawa mungkin saya tidak layak memberi nasihat kepada orang yang lebih berpengalaman ataupun orang yang lebih senior daripada saya, supaya Yang Berhormat Semarang jangan mengamalkan sikap asabiah. Kerajaan membuat lantikan Ahli Majlis berdasarkan kebolehan dan kemampuan seseorang itu menjalankan tugasnya. Kalaulah orang Johor boleh diberikan mandat dan dipercayai untuk menjadi Menteri Besar negeri Selangor, apa salahnya kita melantik seorang dua daripada Johor Bahru untuk menjadi Ahli Majlis di Yong Peng?
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Senai telah menyentuh tentang isu Dewan Seelong dan signboard UMNO di bangunan milik kerajaan. Dewan Seelong telah dibina berdasarkan kepada permohonan daripada penduduk setempat dan pihak Perbandaran Kulai sentiasa memastikan dewan
ini di selenggara dengan baik. Bagaimanapun, statistik menunjukkan bahawa penggunaan orang awam terhadap dewan ini adalah sangat rendah dan pihak MPKu telah membuat keputusan untuk menggunakan dewan itu sebagai stor untuk menyimpan fail. Bagaimanapun, MPKu dari semasa ke semasa akan memastikan dewan ini dalam keadaan baik. Selaras dengan pentadbiran kerajaan baru, MPKu telah juga mengeluarkan arahan penurunan papan tanda parti-parti politik, bukan sahaja parti-parti UMNO tapi semua parti-parti politik, tapi maklumlah, parti-parti Pakatan Harapan tidak terlibat di semua balai raya dan dewan milik MPKu.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Tangkak telah menyentuh tentang isu Kempen Pengasingan Sisa Pepejal di Punca yang bermula pada 1 September 2015. Kempen berkaitan dengan kebersihan dan pengasingan sisa pepejal di Punca masih diteruskan sehingga kini. Sebanyak 563 taklimat atau ceramah telah dibuat semasa program diadakan di peringkat agensi, institusi dan komuniti. Aktiviti kebersihan seperti gotong royong juga semakin dipergiatkan di setiap komuniti perumahan dan institusi.
Untuk makluman Yang Berhormat Tangkak, November 2018 sahaja SW Corp telah melancarkan modul pembelajaran kitar semula di peringkat tabika dan sekolah. Modul tersebut boleh dijadikan garis panduan bagi meningkatkan amalan kitar semula di peringkat kanak-kanak sebab kita menyedari bahawa kalau kita nak melentur buluh biarlah daripada rebungnya, seperti yang saya sebut tadi dalam sesi soal jawab tadi. Usaha yang dijalankan oleh SW Corp adalah melalui peredaran pamflet dan risalah dan juga masih akan diteruskan kepada penduduk melalui rumah ke rumah bagi memberikan kesedaran kepada komuniti setempat. Pemeriksaan oleh penguat kuasa SW Corp turut dijalankan di semua premis perumahan bagi mengenal pasti penghuni-penghuni yang gagal membuat pengasingan.
Selain itu, setengah Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Muar dan Majlis Daerah Tangkak telah meminta kerjasama daripada Ahli Majlis supaya menjalankan sekurang-kurangnya satu projek perintis ataupun pilot project di DUN masing-masing sebagai salah satu usaha dan inisiatif kerajaan dalam menjayakan program pengasingan pada punca atau program kitar semula ini. Kerajaan juga sedang membuat kajian tentang pendekatan untuk mempromosi dan memantau pelaksanaannya supaya kempen pengasingan sisa pepejal pada punca dapat dihidupkan semula untuk meringankan beban sistem pengurusan sisa pepejal yang semakin serius di negeri Johor. Yang Berhormat...
Masih panjang?
Sikit lagi. Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Berhormat Tanjung Surat telah berkongsi satu cadangan yang sangat-sangat unik iaitu menangkap anjing liar dan mengeksport ke Korea Selatan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, statistik tangkapan anjing liar di PBT Pengerang sehingga Oktober 2018 adalah sebanyak 130 ekor. Daripada jumlah tangkapan liar seperti yang dinyatakan di atas, saya khuatir dan saya rasa ianya sememang tidak cukup untuk dieksport ke Korea seperti yang dicadangkan Yang Berhormat Tanjung Surat. Sebagai EXCO yang bertanggungjawab kepada Kerajaan Tempatan saya tidak setuju dengan perbuatan yang zalim ini, apatah lagi eksport mengeksport ini memang bukan kerja pihak berkuasa tempatan. Jika Yang Berhormat Tanjung Surat berminat tentang perniagaan ini, bolehlah berurus terus dengan Pihak Berkuasa Tempatan, saya tiada halangan tetapi kalau boleh janganlah menjalankan perniagaan yang zalim ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya dan juga rakan-rakan Majlis Mesyuarat Kerajaan bersama dengan jentera perkhidmatan awam akan terus merungkai aspirasi segar dalam menterjemah mandat yang diberikan rakyat yang berteraskan prinsip-prinsip nilai, integriti dan kebertanggungjawaban. Buat sekalian ahli-ahli sidang Dewan Negeri saya ingin merakam sekalung penghargaan atas soalan-soalan yang dibangkitkan menjurus kepada portfolio Kerajaan Tempatan, Sains Dan Teknologi. Saya yakin, soalan yang dibangkitkan tersebut mampu memberi nilai tambah dalam menyediakan dasar dan perkhidmatan kelak serta menemukan penyelesaian tuntas dalam segenap aspek membabitkan kemaslahatan awam atau dengan izin public interest.
Pada kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Bahagian Kerajaan Tempatan, Bahagian Sains dan Teknologi, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi yang terlibat dalam penyediaan sidang dewan pada kali ini. Sesungguhnya kalian adalah tulang belakang penting kepada saya dan seluruh anggota pejabat saya. Ada yang terpaksa meneman saya bermesyuarat sehingga tengah malam, semalam pukul satu lebih baru boleh balik rumah. Saya
ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang terlibat ini. Saya harap ulasan yang saya berikan ini telah menjelaskan kemusykilan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sekiranya ada yang belum terjawab ataupun terlepas pandang, sila menyusuli perkara tersebut kepada pejabat saya secara bertulis.
Akhir sekali, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu di bawah portfolio Kerajaan Tempatan, Sains Dan Teknologi. Sekian terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari Ahad, 9 Disember 2018, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.10 petang.