Johor · 26 November 2019
2nd session, 3rd meeting · 231 turns · 30,819 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera. (Bacaan selawat). Alhamdulillah pada pagi ini kita akan menyambung Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, hari yang keempat. Bersama-sama kita pada pagi ini adalah pelawat daripada anak muda Kelab LEO dari kawasan Jementah, Segamat dan Tenang, Labis seramai 22 orang. Terima kasih kerana dapat sama-sama bersama kita di Dewan yang mulia ini.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Larkin jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 1.
Selama tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, berapakah jumlah perbelanjaan tetap negeri jika dibandingkan dengan kos pemerintahan kerajaan sebelum ini?
Bismillahirrahmaanirrahim. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon izin untuk menjawab soalan Yang Berhormat Larkin mengenai jumlah perbelanjaan tetap negeri Johor selama tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan jika dibandingkan dengan kos pemerintahan kerajaan sebelum ini. Pada tahun 2017 mengikut penyata kewangan kerajaan negeri yang berakhir pada 31 Disember 2017, jumlah perbelanjaan ialah RM1,551.42 juta ataupun dalam bahasa yang mudah RM1.5 bilion, caruman kepada kumpulan wang berkanun untuk perbelanjaan pembangunan yang berjumlah RM710.51 juta.
Seperti sedia maklum, Pakatan Harapan telah mengambil alih kerajaan selepas PRU14. Belanjawan pada tahun 2018 telah disediakan oleh kerajaan sebelumnya di mana anggaran hasil adalah berjumlah RM1,504.33 juta dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,503.19 juta. Setelah peralihan kerajaan, kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil langkah meningkatkan ketelusan dalam laporan perbelanjaan kerajaan terutama melaksanakan perbelanjaan berhemah supaya dapat mengelakkan ketirisan dan pembaziran.
Selain itu, kerajaan negeri telah mengkaji semula dasar perbelanjaan infrastruktur awam khususnya untuk menangani pelaksanaan serentak beberapa projek yang kosnya berkos tinggi secara relatif. Justeru bagi memastikan kemampuan dan kecekapan perbelanjaan, kerajaan negeri telah menangguhkan pelaksanaan beberapa projek serta menyemak semula skop dan daya maju dan merunding semula nilai kontrak. Malah keutamaan program dan projek juga disusun semula oleh kerajaan berdasarkan keperluan dan kepentingan.
Selain itu, kerajaan negeri juga telah melaksanakan rasionalisasi jabatan dan agensi bagi memperkemas fungsi dan peranan serta menambah baik prosedur perolehan kerajaan dengan memperkenalkan rangka kerja perundangan berkaitan untuk mengelakkan pembaziran dan ketirisan. Oleh kerana kerajaan mahu memastikan pihak yang mendapat tender berkenaan mempunyai kelayakan dan mampu menyiapkan projek yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Perbendaharaan Negeri Johor menetapkan semua pegawai pengawal hendaklah mematuhi langkah-langkah perbelanjaan berhemah dan
mematuhi peraturan dan langkah-langkah dalam menganjurkan acara atau majlis atau keraian atau mesyuarat atau persidangan atau seminar/bengkel seperti berikut:
1. Setiap penganjuran acara atau majlis atau keraian atau mesyuarat atau persidangan atau seminar atau bengkel hendaklah dikecilkan skopnya atau yang benar-benar perlu sahaja dan diadakan di jabatan atau premis milik kerajaan.
2. Gimik pelancaran dibuat secara ringkas dan disediakan secara dalaman (in-house) tanpa penyumberluaran (outsourcing) dengan izin, seperti melantik pengurus acara.
3. Pemberian cenderamata atau goodies tidak dibenarkan tetapi sekiranya perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan tempatan, produk makanan tempatan atau produk agensi sendiri.
4. Pemberian pakaian percuma kepada peserta atau pengunjung bagi setiap acara atau majlis atau keraian rasmi tidak dibenarkan.
5. Hiasan tempat dan pentas adalah ringkas.
Untuk makluman Tuan Speaker, pendekatan tersebut telah memberi kesan positif dari segi kawalan perbelanjaan.
Untuk makluman, perbelanjaan kewangan berakhir 31 Disember 2018 ialah RM1,537.77 juta berbanding dengan hasil yang berjumlah RM1,543.03 juta menjadikan lebihan atau surplus dengan izin tahun 2018, berjumlah RM2.15 juta. Penyata kewangan negeri bagi tahun 2018 telah pun diaudit dan dianugerahkan Sijil Bersih.
Untuk makluman Yang Berhormat, perbelanjaan mengurus negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan berakhir 31 Disember 2018 adalah sebanyak RM1,537.77 juta berbanding kerajaan sebelum ini bagi perbelanjaan mengurus pada 2017 adalah berjumlah RM1,551.61 juta. Oleh itu, terdapat penjimatan perbelanjaan keseluruhannya sebanyak RM13.84 juta. Seterusnya bagi perbelanjaan pembangunan pula pada 2017 adalah RM710.51 juta dan 2018 sebanyak RM614.87 juta. Oleh itu terdapat penjimatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM95.64 juta berbanding tahun 2017.
Bagi tahun 2019, kerajaan negeri terus berbelanja ke arah memperkukuh dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat, kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan merupakan prinsip tadbir urus utama untuk memastikan amalan baik dalam pengurusan perbelanjaan awam semasa. Pendekatan ini telah diterjemahkan di dalam penyediaan belanjawan berasaskan zero based budgeting dengan izin, merupakan belanjawan pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyemak semula peruntukan beberapa jabatan dan agensi yang tidak menggunakan sumber dengan baik dan tiada pelan perancangan kawalan dalaman. Pengurangan ini sejajar dengan usaha untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal negeri serta memastikan perbelanjaan berhemah dan penggunaan sumber awam yang cekap.
Untuk makluman Tuan Speaker, secara rumusannya walaupun kerajaan ketika ini masih mendepani ketidaktentuan dan kelembapan ekonomi dunia, kerajaan negeri Johor di bawah Pakatan Harapan telah berjaya berbelanja secara berhemah di atas kawalan dan tindakan pengurusan kewangan yang cekap. Pencapaian ini didukung oleh pengurusan hasil yang cekap serta efisien dalam meningkatkan hasil terutamanya daripada pentadbiran tanah. Sehingga 18 November 2019, kerajaan negeri telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1,588.29 juta atau 102.29% berbanding sasaran anggaran sebanyak RM152 perpuluhan juta pada tahun 2019.
Daripada langkah penjimatan dan prestasi kutipan hasil ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil langkah-langkah dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan yang lebih baik dan efisien, projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi dan program berteraskan rakyat terus diberi keutamaan merangkumi pelbagai program dan projek yang bertujuan meningkatkan pelaburan modal, kapasiti produktif dan meningkatkan taraf hidup. Sekian, terima kasih.
Ya jemput Larkin.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah memberi huraian perbezaan perbelanjaan di antara pemerintahan kerajaan lalu dengan kerajaan yang sedia ada. Dari pencerahan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Larkin mendapati terdapat pengurangan anggaran perbelanjaan pembangunan kerajaan dari tahun 2017 ke 2019 iaitu lebih kurang RM100 juta. Soalan Larkin di sini, kenapa berlakunya pengurangan anggaran perbelanjaan dalam masa tempoh tersebut? Terima kasih.
Jemput Yang Amat Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Untuk makluman peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2017 adalah sebanyak RM763.3 juta. Manakala pada tahun 2018 pula adalah RM700 juta dan RM600 juta disediakan untuk tujuan pembangunan tahun 2019.
Pengurangan peruntukan perbelanjaan pembangunan khasnya bagi tahun 2019 ini adalah berikutan pendekatan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang memfokuskan kepada kualiti pertumbuhan pembangunan. Ini bermakna kerajaan hanya akan berbelanja setelah kajian keutamaan dan output projek dikenal pasti bagi pulangan yang maksimum kepada rakyat. Paling penting kerajaan perlu memastikan manfaat pertumbuhan pembangunan dikongsikan secara adil dalam kalangan rakyat.
Pada pendapat saya juga Belanjawan Johor 2017 yang agak tinggi dibentangkan oleh kerajaan lepas berkemungkinan, berkemungkinan sahaja ya... lebih kepada persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum, kemungkinan. Boleh disimpulkan di sini, kerajaan kini lebih menumpukan kepada perbelanjaan berteraskan keperluan rakyat. Ingatlah kerajaan yang korup dan rosak pasti akan ditolak oleh rakyat. Insya-Allah kerajaan Pakatan Harapan ini yang telah dipilih rakyat dalam sistem demokrasi yang telus akan terus menjaga amanah rakyat bangsa Johor. Terima kasih.
Jemput Johor Lama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, hari ni Yang Berhormat Tuan Speaker saya ingin membuat soalan tambahan. Apakah saiz peruntukan bantuan dana yang disalurkan oleh kerajaan pusat kepada negeri Johor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain? Terima kasih.
Jemput Yang Amat Berhormat.
Terima kasih Tuan Speaker. Peruntukan bantuan dana atau pemberian kerajaan adalah daripada pemberian tetap atau bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri serta agensi kerajaan. Ianya adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesepuluh Undang-Undang serta Aturan dan Peraturan Kewangan dan keputusan oleh Majlis Kewangan Negara.
Untuk makluman Yang Berhormat, antara pemberian tersebut adalah pemberian mengikut bilangan penduduk. Pemberian kos perkhidmatan di atas pelaksanaan projek pembangunan
persekutuan, pemberian bagi membiayai perbelanjaan mengurus Jabatan Guna Sama, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup, pemberian pertambahan hasil geran tahunan berasaskan kaedah keseimbangan, pemberian bantuan kerajaan persekutuan bagi membayar bil elektrik oleh lampu jalan dan lampu isyarat di PBT, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Muzium Yayasan Warisan Johor, pemberian penyelenggaraan jalan negeri dan pemberian pelancongan. Pada tahun 2018, negeri Johor secara keseluruhannya telah menerima sejumlah RM871.46 juta peruntukan daripada kerajaan persekutuan iaitu negeri Johor, negeri ketiga terbanyak menerima peruntukan tertinggi selepas Sarawak dan Sabah. Sehingga 30 Oktober 2019, sejumlah RM765.5 juta peruntukan telah diterima daripada kerajaan persekutuan. Antara terimaan peruntukan meliputi pemberian penyelenggaraan jalan negeri sebanyak RM503.04 juta diikuti dengan pemberian bagi membiayai perbelanjaan mengurus Jabatan Guna Sama sebanyak RM58.36 juta dan pemberian mengikut bilangan penduduk sebanyak RM47.4 juta. Peruntukan ini akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus kerajaan dan pembangunan di seluruh negeri Johor. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan.
Dua soalan Yang Berhormat, lepas ini saya bagi. Ok Yang Berhormat Sungai Balang, jemput.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.
Sejauh mana peluang pekerjaan yang telah dijanjikan oleh kerajaan dan berikan pecahan pekerjaan yang telah berjaya dilaksanakan khasnya kepada lepasan sekolah dan graduan negeri Johor, berapa ramai YB Menteri Belia telah membawa balik pekerja-pekerja Singapore ke Johor?
Yang Berhormat Semarang, jemput.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Soalan saya, soalan nombor 3.
Sehingga kini berapakah jumlah peluang pekerjaan baru yang berjaya diwujudkan oleh kerajaan negeri Johor daripada 200,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan dan berapakah jumlah pemberhentian kerja yang direkodkan?
Yang Berhormat Sri Medan, jemput.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Soalan saya soalan nombor 4.
Peluang pekerjaan menjadi fokus utama oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika pembentangan Manifesto PRU ke-14. Adakah ianya telah dilaksanakan atau tidak? Berapa peratus pencapaian dalam masa hampir 2 tahun?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker serta YB Sungai Balang, YB Semarang dan YB Sri Medan. Saya akan menjawab ketiga-tiga soalan serentak berdasarkan kepada soalan yang dikemukakan di mana peluang pekerjaan, pertama ada tiga perkara yang dipersoalkan berkaitan dengan peluang pekerjaan.
Kita telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang sememangnya menjadi fokus kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini. Hasrat kerajaan Johor seperti mana dalam janji yang dinyatakan dalam manifesto untuk menawarkan
200,000 peluang pekerjaan, Insya-Allah telah dicapai. Di mana seperti mana yang kita sedia maklum Yang Berhormat Speaker dan lain-lain Yang Berhormat, saya ingin mengumumkan di dalam Dewan yang mulia ini, kerajaan Pakatan Harapan sejak mengambil alih tanggungjawab Mei 2018 sehingga Oktober 2019 di mana kerajaan telah berjaya menyediakan kekosongan pekerjaan sejumlah 278,790 kekosongan pekerjaan. Terdapat dua agensi yang saling bekerjasama bagi membantu menyediakan peluang pekerjaan ini iaitu Unit Strategik Modal Insan dan Jabatan Tenaga Kerja Malaysia. Kalau mengikut peratus seperti mana yang dinyatakan ataupun soalan daripada YB Semarang, berapa peratuskah kejayaan yang telah dicapai? Alhamdulillah, kalau mengikutkan rekod bahawa kejayaan kita 139.4%. Manakala, dari segi pecahan, kalau ikutkan daripada Mei hingga Disember 2018, peluang pekerjaan baharu yang telah diwujudkan adalah seramai ataupun sebanyak 119,030 orang.
Manakala, pada tahun 2019, mulai daripada Januari sampai Oktober, kita telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan baharu sebanyak 159,760 kekosongan. Berdasarkan kepada persoalan seterusnya, jumlah pemberhentian yang direkodkan daripada YB Semarang, untuk menjawab soalan ini, pelaksanaan sistem insurans kerja adalah satu insentif jangka panjang yang memberi kesan positif terhadap kepada pekerja swasta dan majikan yang berdepan dalam isu kehilangan pekerjaan. Pelaksanaan SIP dapat membantu terutamanya kepada pekerja yang terjejas akibat diberhentikan di mana kalau ikut rekod kepada kes yang diberhentikan disebabkan ada beberapa perkara. Antara perkara yang menyebabkan pemberhentian ini kerana mengecilkan saiz pekerja ataupun penutupan ataupun kebankrapan sesuatu syarikat. Maka kita dapat lihat jumlah daripada Januari 2019 hingga 18 November 2019, seramai 3,896 pemohon ataupun yang telah direkodkan yang diberhentikan dan pihak PERKESO telah meluluskan permohonan untuk dapat bantuan seramai 3,189. Maknanya, yang diberhentikan atas sebab-sebab masalah syarikat dan juga bukan faktor-faktor sendiri. Sekian, terima kasih.
Ya, Sungai Balang.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya sekali lagi ingin bertanya sebab saya rasa soalan saya tidak dijawab. Berapa ramaikah kerajaan Pakatan Harapan telah membawa balik pekerja-pekerja dari Singapore ke Johor dan apakah jenis pekerjaan yang telah ditawarkan kepada pekerja-pekerja Singapore yang dibawa balik ke negeri Johor? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Kalau saya bacakan soalan itu untuk Sungai Balang, jadi sebab itu saya tidak jawab. Soalan dia, berapa ramai YB Menteri Belia telah membawa balik pekerja-pekerja Singapura ke Johor? Dia tanya kepada Menteri Belia, jadi itu sebab saya tak jawab. Walau macam mana pun, rekod itu memang kita tak ada, nanti kita akan dapatkan rekod yang berkenaan daripada pihak yang berkaitan. Ok, sekian, terima kasih.
Semarang, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tambahan saya. Dinyatakan tadi daripada Mei hingga Oktober 2019, terdapat 278 ribu lebih kerja yang telah didaftarkan. Baru masuk saja kerajaan terus naik, Alhamdulillah, mudah-mudahan ia menjadi realiti dan benar-benar terjadi. Kalau angka ini diambil daripada Jobs Malaysia, ia adalah satu agensi yang accumulating, dengan izin. Saya nak tahu, dalam negeri Johor ini berapa banyak jawatan ataupun kerja-kerja baharu yang dapat ditawarkan kepada kerajaan dan kepada rakyat negeri Johor sehingga kini? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Ok, terima kasih kepada Semarang. Untuk makluman kepada Tuan Speaker, kita sedia maklum bahawa segala pekerjaan adalah dikemukakan berdasarkan kepada rekod daripada Jabatan ataupun Jobs Malaysia yang mana semua berkaitan dengan syarikat ataupun pekerjaan-pekerjaan di peringkat kerajaan ataupun swasta, dia akan memaklumkan kepada jabatan Jobs Malaysia untuk menyatakan kekosongan, yang saya bacakan tadi adalah merupakan kekosongan pekerjaan di negeri Johor dan ini adalah merupakan susunan ataupun soalan yang dikemukakan antara bidang-bidang perkara-perkara yang perlu, yang ada kekosongan yang perlu diisi, di mana kalau kita lihat jumlah kekosongan bagi pengurusan ada seramai 525, profesional 3,927.
Kekosongan itu baharu atau tidak Yang Berhormat?
Baharulah.
Pekerjaan baru.
Pekerjaan yang baharu. Maknanya, bermula daripada tahun yang seperti mana yang saya sebut tadi daripada bulan Mei 2018 sehingga Oktober 2019. Jadi ini perkara yang kalau kita lihat jawapan yang saya berikan adalah merupakan jawapan yang datang daripada agensi kerajaan dan itulah urusan yang dibuat dan saya ucapkan terima kasih, tahniah kepada agensi kerajaan yang telah berjaya menguruskan peluang-peluang pekerjaan yang telah dinyatakan seperti mana yang kita maklum pada pagi inilah. Jadi, daripada situ kalau kita lihat juruteknik dan profesional bersekutu ada 4,247, pekerja sokongan perkeranian ada 1,317, pekerja perkhidmatan jualan 5,477. Begitulah seterusnya kalau saya baca setiap satu ada semua dan Insya-Allah kita akan bagi jawapan ini kepada setiap soalan yang dikemukakan tadi.
Yang Berhormat Maharani, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya bertanya soalan tambahan tak boleh ke?
Bolehlah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada jawapan daripada EXCO berkenaan jumlah kekosongan iaitu 278,790 banyak itu. Itu satu figure yang saya rasa, satu figure yang menakjubkan tapi kalau saya lihat di sini pengalaman daripada apa yang kita lalui sebelum ini seperti YB Vidya mantan EXCO Sumber Manusia dulu, kembara kerjaya apa yang saya nampak melalui Jobs Malaysia ini, kekosongan yang dipaparkan oleh Program Kembara Kerjaya, mungkin kekosongan jawatan yang ada di kilang-kilang, operator pengeluaran dan sebagainya. Saya rasa kalau kata kekosongan yang seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat EXCO sebentar tadi, itu sebenarnya bukan satu tugas kejayaan yang lain yang mungkin di luar figure yang sepatutnya. Sepatutnya EXCO atau kerajaan Pakatan Harapan hari ini memikirkan jumlah pelaburan yang dibawa masuk ke negeri Johor dan jumlah kekosongan pekerjaan yang diperlukan untuk menarik anak-anak muda di negeri Johor kerana kalau ...
Soalannya Yang Berhormat, soalan dia, satu minit dah.
Sepatutnya kalau kata kita dengan 278,790 saya ingat Kilang Hup Seng, Hwa Tai di kawasan Tongkang Pecah itu, hari-hari dia ada paparkan kekosongan operator pengeluaran dan sebagainya kerana kalau ikut maklumat apa yang dinyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan raya Umum Yang Ke-14, Menteri Sumber Manusia dikatakan kita akan mewujudkan satu juta
peluang pekerjaan, Menteri Belia dan Sukan, kita akan menyediakan 300,000 peluang pekerjaan.
Tak masuk soalan lagi.
Inilah saya nak cerita, kalau tak susah nak faham nanti nak menjawab nanti tak menepati soalan saya dan juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, sahabat YB Tuan Speaker jugalah Senator kan, dia kata kita akan, kita telah berjaya untuk menyediakan peluang pekerjaan 250,000. Saya ingat kalau Johor 278,000 ini, saya ingat dia telah berjaya menampung lebih daripada 25% saya ingat, daripada apa yang dijanjikan oleh Manifesto Pakatan Harapan tempoh hari tapi benarkah 278,000 itu akhirnya akan diisi oleh anak-anak muda pada hari ini? Ini kita khuatir kosong tapi tak diisi. Ok, terima kasih.
Ok faham, dah bagi peluang panjang pulak itu. Jemput.
Alhamdulillah, terima kasih Sri Medan, saya dah biasa dengan Sri Medan ni sebab jiran sebelah. Isu yang sama kita bangkit.
Patut pm aje dah, tak payah nak tanya.
Ok, sebenarnya untuk makluman pada semualah sidang Dewan, kalau kita perhatikan bahawa kekosongan ini adalah merupakan kekosongan yang melibatkan pekerjaan. Bila pekerjaan tentulah semua syarikat-syarikat yang berada di dalam Johor. Apa-apa syarikat dia akan maklumkan kepada Jobs Malaysia untuk memenuhkan keperluan mereka. Jadi bila dipenuhkan dalam keperluan mereka tentulah Jobs Malaysia letakkan dalam figure-figure yang berkenaan. Sebab itu saya jawab tadi berkaitan dengan jenis-jenis pekerjaan saya bacakan jenis-jenis pekerjaan. Dan, memang jenis pekerjaan di peringkat negeri kita ini negeri yang sedang membangun, yang belum lagi peringkat maju. Jadi maknanya kalau kita lihat di sini pekerja asas sahaja yang diperlukan untuk negeri kita, negeri Johor ini, tidak kurang daripada 200,000 pekerja. Sebab itu di peringkat pembangunan, manakala di peringkat pengurusan, peringkat profesional kalau kita lihat di sini dia mempunyai keperluan yang lebih daripada lebih kurang dalam 15,000 pekerja. Jadi, inilah kalau kita lihat bagaimana keperluan-keperluan ini dalam usaha kita bila disebutkan tentang apa ini, investment daripada luar itu jawapan nanti akan diberi oleh sahabat saya YB yang berkenaan. Tapi dalam hal ini kita telah ada, walaupun pekerjaan itu boleh kita kata daripada kilang Ramatex ke apa? Yang ada di Tongkang Pecah tu ya. Kita tak nafikan memang tetapi peluang pekerjaan itu juga memberi peluang kepada rakyat tempatan. Kita boleh tengok pekerja-pekerja di sebab di kawasan saya bila sebut Tongkang Pecah tadi kawasan sayalah. Dan kita boleh lihat di situ memang pekerja sebahagian besarnya adalah rakyat tempatan walaupun dia kerja bahagian pekerja asas ataupun yang dipanggil operator, operator mesin, pemasangan dan sebagainya.
Jadi, dalam hal ini untuk maklumat juga kepada semua yang hadir dalam Dewan yang mulia ini, di mana kita telah melaksanakan tanggungjawab bukan sahaja kepada bentuk kerjaya tetapi juga kita telah dapat membuat pameran khusus kepada pendidikan khas dan khusus juga kepada Orang Kurang Upaya. Buat program yang berkaitan untuk pekerja-pekerja kurang upaya, pekerja-pekerja pendidikan khas supaya apakah kesesuaian pekerjaan yang mereka boleh dapat, itu yang pertama.
Yang kedua kita juga buat program yang berkaitan dengan Orang Asli pameran dan juga ceramah khusus kepada Orang Asli di mana kita tidak meninggalkan golongan Orang Asli yang kita telah buka satu promosi informasi bekerja, pekerjaan di SK Kampung Kudung, Bekok khusus kepada Orang-orang Asli. Jadi maknanya kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini tidak meninggalkan golongan-golongan yang dianggap lemah ataupun kurang berupaya ataupun Orang Asli. Jadi seperti mana yang kalau kita lihat tohmahan
menyatakan kerajaan Pakatan Harapan tidak ada peluang pekerjaan, orang berhenti dan sebagainya dan itu adalah satu fitnah dan saya harap dengan jawapan yang kita berikan pada pagi ini memberikan jawapan yang jelas kepada seluruh rakyat dan kepada semua. Sekian, terima kasih.
Ok, kalau Sri Medan nak cuba jawatan baharu tu boleh mohonlah lepas ini. Ok saya persilakan Maharani. Jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker soalan Maharani nombor 5.
Sila nyatakan tentang perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan apakah langkah kerajaan bagi memastikan NFCP dapat direalisasikan menjelang 2023?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada YB Maharani. Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara ataupun dengan izin, National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP) merupakan pelan 5 tahun 2019-2023 yang bertujuan untuk menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik bagi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Pelan ini dilancarkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 19 September 2019 yang lalu. Jumlah kos pelaksanaan NFCP dianggarkan sebanyak RM21.6 bilion dengan pembiayaan NFCP akan dibuat melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau ringkasnya PPS di bawah kawal seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pelaburan swasta. Kerajaan juga telah menetapkan beberapa sasaran penting untuk dicapai melalui NFCP iaitu di antaranya:
Pertama, 100% premis di ibu negeri dan kawasan impak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minimum 500 mbps menjelang tahun 2021.
Yang kedua, 20% premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500 mbps menjelang tahun 2022.
Yang Ketiga, 98% kawasan yang berpendudukan di Malaysia akan mendapat kelajuan purata 30 mbps menjelang tahun 2023.
Pihak SKMM juga telah mula membuat perancangan bagi beberapa projek infrastruktur dan meluaskan liputan perkhidmatan jalur lebar termasuk bagi beberapa kawasan di negeri Johor. Bagi memastikan kelancaran NFCP di peringkat negeri, kerajaan negeri telah bersetuju menstrukturkan dan memperkasakan Jawatankuasa Induk Infrastruktur Komunikasi Negeri Johor sebagai jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO Komunikasi dan Multimedia. Segala isu dan permasalahan yang menjadi halangan kepada pelaksanaan NFCP, saya cadang penyelesaiannya akan dibincangkan dan ditangani dalam jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terlibat sekiranya terdapat perkara-perkara yang perlu di bawa ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan. Bagi memastikan sasaran NFCP dapat direalisasikan menjelang 2023, kerjasama daripada semua pihak berkepentingan seperti pemberi perkhidmatan dan kerajaan negeri amatlah penting khusus bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur di negara ini. Dengan adanya sokongan penuh daripada semua pihak adalah diharapkan inisiatif NFCP ini dapat, yang dirangka ini mampu mencapai sasaran dalam tempoh masa yang ditetapkan dan seterusnya dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat. Ringkasnya Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan pelaksanaan NFCP ini semua rakyat dalam negara khususnya dalam negeri Johor boleh dihubungkan secara digital dalam
masa yang sama jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan melalui access atau capaian kepada perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti dan berkelajuan tinggi pada kos mampu milik.
Pelaksanaan standard mandatory mengenai penetapan harga access atau ringkasnya MSAP pada tahun lepas, telah mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar melebihi 30% yakni memberikan peluang lebih ramai rakyat mendapat access kepada perkhidmatan jalur lebar. NFCP ini juga menggalakkan rakyat dan perniagaan dilakukan secara atas talian ataupun e-Dagang khususnya dalam menembusi pasaran baru di dalam dan luar negara. NFCP juga akan membantu merealisasikan ekonomi digital sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi di masa hadapan negara. Menurut kajian, ekonomi digital akan menyumbang sebanyak 25% kepada kenaikan dalam nilai kadar KDNK menjelang 2023. Pelaksanaan NFCP juga akan menyediakan infrastruktur asas yang kondusif bagi laluan kepada Revolusi Perindustrian ke-4 ataupun ringkasnya 4.0 yang mengandungi teknologi seperti kecerdasan, buatan AI, Internet Of Things (IOT), robotik, data raya dan kejuruteraan maya serta penggunaan teknologi baharu seperti perkhidmatan 5G di Malaysia. NFCP juga merupakan satu usaha strategik untuk meningkatkan daya saing negara dan rakyat Malaysia dalam era dunia digital. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya, Maharani jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya sekarang ini telah wujud bahawa kesan radiasi daripada menara komunikasi ini mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Mohon penjelasan daripada pihak YB.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Maharani di atas soalan tambahan. Persepsi bahawa kesan radiasi daripada menara komunikasi ini mendatangkan kemudaratan kepada orang ramai telah lama wujud dan ia bukan perkara baru. Pihak Kementerian dan Multimedia Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah sering kali memberi penerangan di dalam media massa memaklumkan bahawa radiasi radio frekuensi atau ringkasnya RF dan juga Electro Magnetic Field ataupun ringkasnya EMF yang dihasilkan oleh struktur komunikasi dikategorikan sebagai radiasi tidak mengion. Radiasi tidak mengion ini bertenaga rendah dan tidak boleh menyebabkan pengionan dalam badan manusia. Dalam erti kata lain radiasi ini tidak memberi kemudaratan kepada kesihatan manusia dan langsung tiada kaitan dengan sinaran radio aktif. Ketetapan ini juga telah dikeluarkan oleh agensi bertauliah antarabangsa International Commission Of Non Ionizing Radiation Protection (ICNIRP) berdasarkan fakta dan kajian-kajian yang dibuat. Pada masa yang sama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan kepada 25,000 artikel penyelidikan berkaitan kesan EMF oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi manusia yang diterbitkan sepanjang tempoh 30 tahun yang lepas telah merumuskan bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan terhadap EMF berskala rendah. Fakta ini turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan risiko radiasi terhadap kesihatan dengan struktur pemancar telekomunikasi. Sekian terima kasih yang Berhormat Tuan Speaker.
Semarang, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya dalam pelaksanaan NFCP ini dalam negeri Johor khususnya berapa ramaikah NFP, kontraktor NFP ataupun Network Facilities Provider, Bumiputera yang datangnya daripada negeri Johor dan bagaimana kerajaan negeri boleh mendapat pulangan secara langsung ke atas projek ini?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih di atas soalan tambahan daripada Semarang. Itu sebabnya di peringkat SKMM ataupun MCMC telah menggalakkan bahkan menekankan supaya ditubuhkan suatu Jawatankuasa Pemantau di setiap negeri bagi memastikan NFCP ini dapat direalisasikan menjelang 2023 kerana di setiap negeri khususnya berkaitan dengan tanah merupakan urusan kerajaan negeri state a land matter, dengan izin. Maka setiap negeri mempunyai prosedur yang berbeza termasuk juga di beberapa buah negeri termasuk juga kita di negeri Johor sebahagian daripada proses infrastruktur telekomunikasi ini telah pun dianugerahkan di award untuk tempoh tertentu kepada syarikat-syarikat tertentu. Jadi perkara ini antara perkara yang diambil kira dan akan dirunding bersama dalam Jawatankuasa Induk dan Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor yang saya sebutkan tadi bagi kita pentingnya adalah untuk kita memudahkan proses pelaksanaan NFCP ini kerana sebagaimana saya sebut tadi RM21.6 bilion peruntukan daripada kerajaan pusat sebahagiannya akan dilaksanakan atau diinisiatifkan oleh pihak swasta iaitu Telco dan ini sangat memerlukan kerjasama daripada 3 agensi iaitu daripada peringkat persekutuan, MCMC, peringkat kerajaan negeri dan juga Telco itu sendiri. Mudah-mudahan perkara ini dapat kita laksanakan sebaik mungkin dan sudah barang tentunya sebagai pemegang taruh, kerajaan negeri ada pulangan tetapi saya tak boleh sebut sekarang ini sebab perundingan ini akan diadakan bermula pada awal tahun 2020 yang akan datang. Sekian, terima kasih.
Yang Berhomat Tangkak, jemput.
Selamat sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Tangkak nombor 6.
Apakah tindakan yang telah diambil bagi membantu kehidupan Orang Asli dan pembangunan yang akan meningkatkan sosial ekonomi di komuniti Orang Asli Johor.
Jemput Yang Berhormat EXCO.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker dan Yang Berhormat Tangkak untuk makluman jumlah perkampungan Orang Asli adalah sebanyak 60 buah kampung dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 15,869 orang. Pecahan suku kaum masyarakat Orang Asli di negeri Johor adalah melibatkan suku kaum Jakun, Kuala, Seletar, Kanaq, Temuan dan lain-lain suku kaum. Mereka juga menganut pelbagai agama iaitu Islam, Animisme, Kristian dan Buddha. Antara kemudahan-kemudahan asas yang ada di perkampungan Orang Asli adalah TABIKA, bekalan elektrik TNB, bekalan air SAJ, balai rawatan, transit kesihatan, rumah penggerak Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ), sekolah agama (JAINJ), jeti nelayan, jalan tar di dalam kampung dan jalan tar menuju ke perkampungan, rumah PPRT, surau dan balai raya. Antara aktiviti dan program yang telah dilaksanakan untuk maklumat Yang Berhormat Tuan Speaker dan Dewan, Program Masyarakat Orang Asli Bersama Agensi/ Jabatan Kerajaan, Program Pendidikan Bersama Komuniti Orang Asli yang melibatkan pelajar Orang Asli, belia dan beliawanis serta kanak-kanak Orang Asli, lawatan sambil belajar Tok-tok Batin ke MPKKOA di Sarawak pada tahun 2017 dan program-program kemasyarakatan dan ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli semua peringkat daerah masyarakat Orang Asli Negeri Johor dengan kerajaan, bersama dengan kerajaan negeri Johor.
Pada tahun 2018-2019, projek ekonomi rakyat ataupun (ERA) melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPK). Projek fertigasi cili melibatkan Kampung Orang Asli Kg. Dalam Parit Sulong, Batu Pahat; projek lebah kelulut melibatkan Kampung Orang Asli Puting di Segamat; Kampung Orang Asli Sayung Pinang di Kota Tinggi; Kampung Orang Asli Searak Api di Muar; Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh di Kluang. Karnival Usahawan Orang Asli di Dataran Pahlawan Melaka, di mana semua usahawan
Orang Asli di Johor dikumpulkan dan produk mereka dipamerkan supaya dapat dikembangkan lagi ke seluruh negara.
Program latihan kemahiran dan kerjaya iaitu PLKK. Program ini adalah bagi membantu belia dan beliawanis Orang Asli yang belum mempunyai pekerjaan kerana tidak mempunyai kelayakan akademik-akademik. Melalui program ini mereka akan diberikan kursus yang diminati dan kemudian akan ditawarkan pekerjaan mengikut kursus yang diambil. Kursus-kursus yang diambil adalah di bawah tanggungan JAKOA.
Selain itu bagi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) turut mengambil berat akan keperluan dan taraf pendidikan masyarakat Orang Asli dengan menyalurkan peruntukan kepada pelajar Orang Asli seperti wang saku pelajar sekolah menengah sebanyak RM2.00 sehari, tambang pengangkutan pelajar Orang Asli ke sekolah pergi dan balik secara percuma dan bantuan pendidikan bermula di peringkat sekolah rendah, menengah dan biasiswa ke IPTA. Pihak JAKOA juga turut menyalurkan bantuan kebajikan serta membayar kos-kos perubatan kepada pesakit-pesakit Orang Asli yang memerlukan atau kurang berkemampuan.
Bagi tahun 2019, sebanyak RM3,147,951.00 telah disalurkan kepada JAKOA Johor bagi menguruskan perkara-perkara yang berkaitan pendidikan, kebajikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli. Peruntukan ini juga Yang Berhormat Tuan Speaker, merangkumi kos pengangkutan, persekolahan bagi murid-murid Orang Asli.
Di samping itu pada tahun 2019 juga, JAKOA Negeri Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM276,950.00 bagi projek bekalan air terawat di perkampungan orang asli di Johor.
Selain itu JAKOA Negeri Johor menerima peruntukan berjumlah RM457,200.00 bagi menjalankan program pembangunan infrastruktur dan imeniti sosial. Selain itu, peruntukan bagi Program Pembangunan Usahawan Orang Asli juga telah diterima pada tahun ini. Peruntukan yang diperolehi untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan Dewan berjumlah sebanyak RM46,520.00. Bantuan ini diberi bagi membantu menggalakkan bagi pengembangan perniagaan atau projek-projek yang sedang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli contohnya seperti perusahaan ternakan ikan, projek homestay di kampung Orang Asli dan perusahaan madu kelulut. Sekian Yang Berhormat Tuan Pengerusi.
Ya, jemput Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan dari Tangkak. Berdasarkan daripada jawapan daripada Yang Berhormat EXCO tadi, terdapat peruntukan air terawat untuk masyarakat atau kampung-kampung Orang Asli. Jadi saya ingin bertanya daripada 60 kampung Orang Asli yang terdapat di negeri Johor, berapakah kampung Orang Asli yang masih belum mempunyai perkhidmatan bekalan air terawat ataupun air bersih? Untuk maklumat Dewan yang mulia ini, salah satu kampung orang asli di kawasan DUN Tangkak iaitu Kampung Orang Asli Tanah Gembur, selama 60 tahun ini masih belum dibekal dengan air terawat atau air bersih oleh SAJ. Sekarang ini mereka cuma menggunakan air mata daripada gunung, jadi saya ingin...
Air mata air...
Tak... mata air. Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat EXCO di bawah peruntukan air terawat untuk Kampung Orang Asli ini, berapakah kampung Orang Asli ini di negeri Johor akan dimanfaatkan?
Ok, jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan Dewan, senarai peruntukan bantuan pendidikan, saya sebut dulu, bagi JAKOA Negeri Johor bagi tahun 2019 adalah seperti berikut:
Bagi Daerah Johor Baru, jumlah kampung 8, jumlah peruntukan wang saku sebanyak RM14,444.00, pengangkutan RM500,788.00, yuran pelbagai sebanyak RM2,000.00; Bagi Kota Tinggi, jumlah kampung 5, wang saku sebanyak RM11,262.00, pengangkutan RM157,305.00, yuran pelbagai sebanyak RM11,420.00; Bagi Mersing, jumlah kampung 9, jumlah peruntukan wang saku sebanyak RM30,436.00, jumlah pengangkutan sebanyak RM254,313.00, yuran pelbagai sebanyak RM35,320.00; Bagi Kluang, jumlah kampung 12, peruntukan wang saku sebanyak RM24,747.00, pengangkutan RM331,715.00, sementara yuran pelbagai sebanyak RM26,410.00; Bagi Batu Pahat dan Pontian (jumlah kampung 8, peruntukan bagi wang saku sebanyak RM58,653.00.00, pengangkutan 517,527.00, yuran pelbagai sebanyak RM36,448.00).
Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi Daerah Segamat, ada 9 kampung, peruntukan bagi wang saku sebanyak RM25,524.00, pengangkutan RM222,639.50, yuran pelbagai RM39,600.00. Bagi Daerah Muar dan Tangkak, jumlah kampung 9, peruntukan bagi wang saku sebanyak RM11,646.00, pengangkutan RM371,361.00, yuran pelbagai sebanyak RM9,500.00.
Jumlah keseluruhan peruntukan bagi wang saku untuk masyarakat Orang Asli sebanyak, sejumlah 60 kampung berjumlah RM176,752.00, bagi pengangkutan jumlah 60 kampung RM2,355,648.50, bagi jumlah 60 kampung bagi yuran pelbagai sejumlah RM160,690.00.
Senarai projek pembangunan bagi masyarakat Orang Asli tahun 2019:
1. Membina dan menyiapkan 1 unit dewan orang asli Kg Orang Asli Panjut, Daerah Kluang, Parlimen Sembrong, DUN Kahang berjumlah RM176,097.50.
2. Membaik pulih 1 unit balai rawatan Kg Orang Asli Sayung Pinang, Daerah Kota Tinggi, Parlimen Kota Tinggi, DUN Tenggara RM43,919.00.
3. Menaik taraf pembetung di jalan utama, pembinaan sistem perparitan dan jalan kampung, Kg Orang Asli Tanah Abang, Daerah Mersing, Parlimen Mersing, DUN Endau RM98,227.50.
4. Pembinaan sistem perparitan Kg Orang Asli Tanjung Tuan, Daerah Mersing, Parlimen Mersing, DUN Endau RM37,665.50.
5. Seterusnya Yang Berhormat Tuan Speaker, pembinaan sistem perparitan bagi Kg Orang Asli Sentosa, Muar daerah, Parlimen Pagoh, DUN Bukit Serampang RM88,349.00.
6. Seterusnya penyambungan meter TNB di 6 unit rumah PPRT Kampung Orang Asli Temok, Pemidak dan Selai, Daerah Segamat, Parlimen Labis, DUN Bekok RM7,150.00.
7. Membaik pulih 1 unit balai rawatan Kg Orang Asli Simpang Arang, Parlimen Daerah Johor Bahru, Parlimen Gelang Patah, DUN Nusa Jaya RM19,558.00.
8. Seterusnya membaik pulih sistem pendawaian elektrik di Tabika JAKOA Kg Parit Tereh, Daerah Kluang, Parlimen Sembrong, DUN Paloh RM6,240.00.
9. Membaikpulih Tadika JAKOA Kg Orang Asli Punjut, Daerah Kluang, Parlimen Sembrong, DUN Kahang RM6,000.00.
Banyak lagi Yang Berhormat?
Saya kena habiskan bagi memuaskan hati Dewan dan yang tukang soal.
Segera, segera, masa dah 5 minit.
10. Membaik pulih Tadika JAKOA Kg Seri Pantai, Batu Pahat, Daerah Batu Pahat, Parlimen Batu Pahat, DUN Senggarang RM7,450.00;
11. Membaik pulih Tadika JAKOA Kg Selangi, Daerah Kota Tinggi, Parlimen Kota Tinggi, DUN Sedili RM6,453.00.
Ini yang diminta oleh Yang Berhormat tentang bekalan air terawat.
1. Sistem bagi bekalan air terawat Kg Kuala Sengka, Daerah Kluang, Parlimen Sembrong, DUN Kahang RM19,750.00.
2. Sistem penggera air terawat bagi Kg Seri Tembayan, Daerah Segamat, Parlimen Labis, DUN Bekok RM29,190.00.
3. Air terawat bagi sistem Kg Temok, Daerah Segamat, DUN Labis. Parlimen Labis, DUN Bekok RM31,300.00.
Yang Berhormat, Yang Berhormat, sebut nama tempat aje cukup, tak payah ringgit-ringgit.
4. Kg Selai, Daerah Segamat, Parlimen Labis, DUN Bekok RM19,700.00.
5. Bagi Kemidak, Segamat, Parlimen Labis, DUN Bekok RM38,600.00.
6. Seterusnya bagi Kg Sungai Tuba, Daerah Mersing, Parlimen Mersing, DUN Endau RM19,800.00.
7. Air terawat Kg Bukit, Mersing, Parlimen Mersing, Endau, RM19,850.00.
8. Sementara pemasangan meter baru di Kg Bukit Panjang, Muar, RM14,950.
9. Bagi Kg Senanga sebanyak RM19,850.00.
Sekian Yang Berhormat.
Buluh Kasap jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker...
Jangan panjang-panjang, pendek aje.
Ah itulah... Saya pun bimbang nak tanya ni tapi saya harap jawapan saya ringkas. Kalau panjang, bertulis pun tak apa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita memahami bahawa penduduk Orang Asli ini kebanyakannya mewarisi tanah dan tapak rumah daripada zaman berzaman. Jadi kalau disebutkan oleh Yang Berhormat EXCO tadi, ada 15,000 keluarga lebih kurang, bahagi dengan 60 kampung, maknanya 1 kampung ada 250 orang penduduk atau isi rumah. Jadi kalau kita bagikan secara purata, kita lihat bahawa perkampungan Orang Asli yang kecil ini dia semakin padat dari hari ke hari.
Jadi sepanjang lawatan saya ke perkampungan Orang Asli, mereka minta pandangan kerajaan supaya beri ruang tapak rumah baharu kepada mereka. Jadi saya tanya pendapat ataupun tanya pandangan soalan kepada Yang Berhormat EXCO, apakah perancangan kerajaan negeri dalam mewujudkan perkampungan atau penempatan baharu Orang Asli? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, satu cadangan yang baik, saya akan ambil perhatian dan insya-Allah saya akan bawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Post EXCO saya bersama dengan Jabatan Orang Asli. Terima kasih.
OK Yang Berhormat Yong Peng jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 7.
Mohon kajian untuk kenaikan elaun Ahli Majlis Daerah Yong Peng.
Selamat pagi, salam sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Yong Peng.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, seiring dengan langkah pembudayaan bagi Ahli-Ahli Majlis dan usaha kerajaan negeri untuk mereformasi pentadbiran di peringkat Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri kini sedang dalam peringkat akhir semakan kertas-kertas cadangan untuk kadar elaun tetap dan bayaran elaun Ahli-Ahli Majlis. Sehubungan dengan itu, sebarang ketetapan baharu berkenaan dengan perkara tersebut akan diumumkan sebaik sahaja ia mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Sekian, terima kasih.
Ya Skudai.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang begitu padat. Yang Berhormat Speaker, apabila soalan ini ditujukan saya jangka pihak sana akan memberi macam-macam sindiran, kononnya kata baharu 2 tahun nak minta naik gaji, baru 2 tahun belum lagi kerja dah minta naik elaun. Tapi...
Soalan, soalan.
Tapi, Yang Berhormat Tuan Speaker saya nampak...
Soalan. Soalan.
Saya nampak perkara ini penting sebab ...
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya rasa ni fitnah ni Yang Berhormat Tuan Speaker.
Minta maaf. Minta maaf. Adakah saya salah peraturan, kalau tak minta Sri Medan duduk.
Soalan. Soalan. Soalan. Yang Berhormat, yang sebelah belum cakap apa-apa lagi. Teruskan, teruskan.
Itu berlaku sebelum ni...
Skudai ni meroyanlah. Kita tak cakap pun tau. You meroyan ke?
Sila duduklah.
Tahun lepas pun dah minta.
Cuba bertenang.
Minta hormat Speaker. Minta hormat Speaker.
Tenang. Tenang. Kalau tuan-tuan nak marah pun sayanglah saya. Ok. Silakan.
Ini sikit pun tak boleh tahan. Dulu dia sindir kami. Berapa tahun pun sindir...
Soalan, soalan.
Yang Berhormat Speaker, saya minta supaya masa saya dikira semula, sebab tadi telah dikacau tadi.
Ok, sila.30 saat.
Perkara ni penting supaya saya beri penjelasan sebelum saya kemukakan soalan sebab apa, saya nampak ini merupakan satu langkah yang penting dalam usaha kerajaan untuk menegakkan integriti sehingga ke peringkat Kerajaan Tempatan. Bayangkanlah Yang Berhormat Tuan Speaker, sekarang ini Ahli Majlis dibayar dengan elaun RM600.00 bagi Majlis Daerah, RM800.00 bagi Majlis Perbandaran, RM900.00 bagi Majlis Bandaraya. Saya kata ini kalau dibandingkan dengan gaji buruh asing, lebih rendah. Malah adalah berada di bawah gaji minima.
Soalannya.
Kita perlu faham bahawa kerja sebagai Ahli Majlis ini boleh dikatakan kerja 24 jam.
Soalan.
Jadi untuk memastikan, untuk memastikan Ahli Majlis kita dapat, dapat deliver perkhidmatan yang bermutu, apakah...
Soalan? Soalan?
Dah. Apakah? Apakah? Apakah...(Dewan ketawa).
Apakah road map dan rancangan kerajaan untuk membantu Ahli Majlis kita supaya dapat berkhidmat dengan lebih cekap...
Terima kasih.
Dan berapakah sasaran elaun yang dianggap, dianggap mampu membantu Ahli Majlis kita supaya perkhidmatan mereka tidak terganggu, supaya mereka tidak terlibat dengan segala gejala...
Faham.
Gejala negatif seperti yang berlaku pada kerajaan dahulu.
Ok faham.
Terima kasih soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Skudai. Memang kerajaan negeri sebelum kita apa ni, mencadangkan untuk menaikkan kadar elaun kita, kita memang ada membuat beberapa kajian berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan juga tengok balik elaun yang telah ditetapkan pada, oleh kerajaan yang lepas. Dan sudah beberapa tahun kita tidak nampak ada kenaikan elaun dan untuk lebih adil kepada apa ni, expectation, dengan izin, daripada rakyat terhadap kerajaan baharu ini, maka kita kerajaan negeri yang baharu ini, kita berpendapat perlu ada kenaikan kadar elaun apa ni, tetap bagi Ahli Majlis dan juga bayaran elaun untuk mesyuarat bagi Ahli-Ahli Majlis. Maka kita ada buat perbandingan dengan apa ni, beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang di peringkat Majlis, untuk peringkat Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan juga Majlis apa ni Daerah. Maka kita sekarang dalam apa ni, kita sekarang dalam proseslah akhir untuk kita semakkan untuk kita buat kertas cadangan, kertas-kertas cadangan ini akan dibentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan dan selepas ini kita akan umumkan kepada umum. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Buluh Kasap soalan tambahan.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan itu tadi. Cuma soalan saya, adakah keputusan yang kerajaan buat nanti bagi kenaikan elaun Ahli Majlis jika bersetuju, adakah elaun ini diberikan untuk Yong Peng sahaja? Sebab nampak Yong Peng macam hanya Yong Peng. Adakah Ahli Majlis lain tak buat kerja? Saya harap Yang Berhormat pastikan Segamat juga terlibat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Buluh Kasap jangan risau. Ini ialah satu kadar baharu untuk semua Ahli-Ahli Majlis di negeri Johor.(Dewan bertepuk). Jangan risau bukan hanya Yong Peng sahaja, untuk semua Ahli Majlis termasuk di kawasan Segamat. Sekian, terima kasih.
Ok, jemput Yang Berhormat Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan Tangkak nombor 8.
Apakah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat terutama usahawan industri mikro untuk melibatkan diri dengan perniagaan secara dalam talian?
Jemput YB EXCO.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ucapkan terima kasih kepada Tangkak atas soalan yang diberikan iaitu berkaitan dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat terutamanya golongan usahawan, dalam industri mikro, untuk melibatkan diri dalam perniagaan secara dalam talian ataupun on line, dengan izin.
Dalam jawapan ini, suka untuk saya nyatakan di peringkat awalnya bahawa inisiatif kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan kita di Johor ini, kita boleh melihat dari 2 aspek iaitu inisiatif yang dikemukakan oleh kerajaan di peringkat persekutuan yang di peringkat negeri kita embraced, dengan izin, inisiatif yang dikemukakan di peringkat persekutuan dan juga inisiatif di peringkat kerajaan negeri sendiri. Jika saya boleh pergi ke yang pertama di peringkat persekutuan yang mana kerajaan kita embraced usaha yang dilaksanakan meliputi usaha-usaha yang dilakukan oleh MDEC iaitu Malaysia Digital Economy Corporation. Antaranya ialah program e-Usahawan yang bertujuan untuk memastikan kita boleh menerapkan nilai atau ilmu-ilmu keusahawanan digital kepada para usahawan khususnya usahawan mikro di desa dan juga usahawan belia untuk menjana pendapatan secara digital. Sekiranya saya boleh nyatakan ada beberapa inisiatif di peringkat MDEC ini namun kalau saya boleh bangkitkan beberapa sahaja di sempadan ini antaranya ialah inisiatif yang dilaksanakan melalui pembelajaran dan juga latihan kurikulum keusahawanan, serta disokong oleh rangkaian lebih 2,000 pelatih dan juga lebih 600 pusat latihan di seluruh negara melibatkan kemudahan-kemudahan awam seperti pusat Internet desa, pusat Internet yang lain serta pusat pembelajaran sepanjang hayat di kolej-kolej TVET, Politeknik dan juga institusi pengajian awam.
Jika saya boleh quote kan di sini sejak Januari 2016 sehinggalah September 2019, kalau kita ambil tempoh ini, sebanyak lebih 24 institusi pengajian serta lebih daripada 400 kampus di seluruh negara telah menawarkan kursus dan juga subjek yang berkaitan kepada para pelajar mencatatkan pencapaian seramai 145,901 pelajar telah pun dilatih dan 63,581 daripadanya telah berjaya menjana pendapatan tambahan di dalam talian dengan jumlah terkumpul sebanyak RM54.54 juta. Antara lainnya di samping itu juga, program ini dijalankan dalam bentuk kursus-kursus jangka pendek kepada usahawan mikro menerusi rangkaian pelatih dan pusat-pusat latihan di seluruh negara agar dapat memberi pengetahuan tambahan tentang pemasaran dan perniagaan dalam talian sekali gus menjadikan usahawan ini lebih berdaya saing dan mendapat pendedahan untuk meneroka pasaran baru serta teknik pemasaran yang efektif secara on line. Dan kalau kita boleh quote kan juga di sini, sepanjang tahun 2015 sehinggalah tahun 2019 angkanya seramai 155,626 usahawan mikro telah pun menjalani kursus ini dan dicatatkan seramai 42,935 daripadanya berjaya menjana pendapatan tambahan di dalam talian dengan jumlah terkumpul sebanyak RM480 juta. Banyak lagi inisiatif-inisiatif yang lain contohnya perkhidmatan e-dagang setempat yang merupakan satu kolaborasi antara KMM atau pun Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan juga MDEC telah dilancarkan untuk beroperasi di seluruh pusat Internet terpilih di seluruh negara.
Pun begitu, Yang Berhormat Tuan Speaker sebelum saya ditanya dalam soalan tambahan, saya ingin nyatakan bahawa angka yang spesifik usahawan-usahawan yang menerima latihan ataupun mendapat inisiatif yang disediakan oleh MDEC ini khususnya di peringkat negeri Johor angkanya itu belum ada lagi sehinggalah hujung tahun bulan 12 ini, insya-Allah. Dan juga kalau saya boleh singkapkan sedikit usaha ataupun inisiatif di peringkat kerajaan negeri pula sikit lagi Yang Berhormat Speaker, kerajaan negeri kita menggalakkan penyertaan usahawan atas talian dan sekali gus kita menyambut baik Revolusi Industri 4.0 iaitu kita telah pun melancarkan satu platform Jendela Aplikasi Servis dan Solusi ataupun ringkasannya JASS. Dan aplikasi ini membolehkan usahawan menempatkan produk dan juga servis mereka secara di atas talian dan sekali gus meningkatkan fisibiliti mereka dalam dunia digital. Cuma inisiatif baru dilancarkan sewaktu Festival Islam Dan Halal Johor pada tahun, awal tahun yang lalu dan juga sekarang ini masih dalam proses permulaan, insya-Allah, by atau pun menjelang tahun 2020 kita akan lebihi perkukuhkan dan juga untuk makluman JASS ini adalah sebahagian rangkaian yang kita manfaatkan untuk keusahawanan juga, dalam keseluruhan rangka besar pembangunan digital Johor. Terima kasih.
Ya Tangkak, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan kepada Yang Berhormat EXCO, bagaimanakah kerajaan negeri Johor dapat memastikan bantuan-bantuan ataupun program-program pembangunan usahawan digital ini dapat apa tu, membantu lebih ramai usahawan dan juga untuk apa itu, melahirkan usahawan digital yang mampu berdepan dengan berdaya saing ataupun berdepan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 ini? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak atas soalan tambahan yang diajukan. Saya rasa bagi menjawab persoalan sejauh mana kerajaan dapat memastikan program pembangunan usahawan ini dapat benar-benar melahirkan usahawan digital, saya rasa untuk memastikan usahawan kita betul-betul berdaya saing itu kita tidak dapat memberi jaminan. Cuma di peringkat kerajaan negeri, di peringkat portfolio keusahawanan apa yang kita boleh jamin ialah kerajaan negeri kita akan memastikan setiap inisiatif ataupun setiap peluang-peluang latihan dan bimbingan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi keusahawanan yang terlibat, kita akan buat bersungguh-sungguh untuk memastikan usahawan kita well equipped dengan izin, dengan kemajuan semasa, dengan IOT, dengan pendigitalan dan sebagainya untuk memastikan usahawan kita betul-betul kompeten ke arah keusahawanan digital ini. Dan juga insya-Allah, pendekatan ini meliputi keseluruhan usahawan di negeri Johor dengan inisiatif yang dilakukan di peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor yang kita lakukan adalah dalam mesyuarat berkala kita 4 kali setahun kita adakan di beberapa zon di dalam seluruh negeri Johor ini mewakili zon-zon utara, selatan, tengah dan juga sebagainya untuk memastikan segala bentuk inisiatif yang dikemukakan oleh agensi-agensi berkaitan keusahawanan dapat betul-betul sampai kepada usahawan-usahawan yang berada di seluruh di negeri Johor dan tidak hanya tertumpu di selatan Johor sahaja ataupun di bahagian Johor Bahru sahaja. Dan juga kalau saya boleh nyatakan ataupun tegaskan di sini, kerajaan negeri melalui portfolio keusahawanan, saya sering kali nyatakan kepada agensi dan sebagainya bahawa kita ingin meningkatkan teknologi dan juga automasi kepada usahawan-usahawan kita mempastikan produktiviti boleh ditingkatkan. Justeru apa-apa juga cadangan-cadangan ke arah penggunaan teknologi-teknologi baharu untuk membangunkan usahawan kita, adalah sangat dialu-alukan dan yang kedua ialah kita juga ingin embraced, atau pun kita ingin mendakap pendekatan digitalization, dengan izin, digitalilasi ini untuk memastikan accessibility kita punya usahawan bukan sahaja di dalam Johor, bahkan dapat menjangkau ke luar daripada Johor, bahkan luar negara sekali pun. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Peraturan 125, Ahli-Ahli lelaki hendaklah memakai sama ada pakaian kebangsaan atau lounge suit. Ahli-Ahli wanita hendaklah memakai pakaian sama ada pakaian kebangsaan, sarung, blouse, sambunglah Yang Berhormat. Cuma saya nak ingatkan dalam Dewan inilah, saya takut besok saya terpakai warna merah. Jadi,
Jadi, pelanggarannya di mana?
Jadi, kena ada peraturan eh. Dia kena warna gelap Yang Berhormat. Saya tak tuju kepada sesiapa. Saya nak ingatkan sajalah. Boleh Yang Berhormat? Yang Berhormat baik kan?
Terima kasih. Ok. Soalan tambahan. Panti.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Pertama sebelum saya teruskan dengan soalan tambahan saya, saya minta pertimbangan Yang Berhormat Speaker untuk hari-hari berikutnya jika ada soalan yang dijawab oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya minta soalan tambahan tu lebihkan sikitlah. Saya minta pertimbangan Yang Berhormat Speaker.
Soalan saya Yang Berhormat EXCO, berkaitan dengan jawapan yang diberikan tadi, saya ucapkan tahniah. Apa pun saya nak tanya bagi usahawan-usahawan terutamanya direct industry micro ini bila bergiat secara atas talian mungkin setelah kita beri latihan kemahiran dan sebagainya, kita perlu ada pemantauan ataupun follow through, so, saya nak tanya, bagaimana kerajaan negeri pada hari ini melakukan pemantauan. Maksudnya, bila kita lihat seorang usahawan itu telah mencapai satu tahap, mungkin kita boleh bantu lagi untuk dia melonjak ke tahap yang lebih baik pada masa yang akan datang. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Cuma saya ni nak dapatkan sedikit ulangan iaitu apakah? So, call like KPI lah kepada usahawan-usahawan kita?
Bukan KPI. Dia, kalau kita dah beri latihan, maknanya, contohnya latihan atas talian ataupun macam mana dia nak berniaga atas talian, mungkin selepas satu tahap dia akan capai satu jualan yang besar, bagaimana dia nak capai ke satu tahap yang lain, bagi premis ke? So, bagaimana kerajaan negeri pantau usahawan-usahawan. Terima kasih.
Baik. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Sewaktu kita melancarkan JASS, sebagai contoh pada awal tahun yang lalu, kita sebenarnya berhasrat, kerajaan berhasrat untuk memastikan ada single window, dengan izin, usahawan-usahawan kita yang kita pastikan mereka equip dengan perkembangan teknologi dan juga Internet pada hari ini. Jadi, apabila mereka memasuki kepada single window ini, segala data dan perkembangan progress yang ada di kalangan usahawan kita dapat pantau secara dalam talian. Dan juga, ini adalah satu inisiatif yang cuba dibuat oleh kerajaan negeri untuk memastikan segala data dan maklumat yang kita ada di peringkat usahawan-usahawan kita dapat kita kumpulkan dalam satu portal ataupun in the single window, dengan izin. So, ini adalah inisiatif yang cuba dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri supaya kita tidak akan melihat pada masa akan datang usahawan kita yang kita tidak dapat pantau progress dia, tetapi berkali-kali inisiatif yang diberikan oleh kerajaan orang yang sama juga, orang yang sama juga datang meminta geran-geran ataupun inisiatif-inisiatif yang kita berikan kepada mereka. Jadi kalau saya boleh menjawab secara jawab soalan yang telah dikemukakan tadi oleh Panti, ini adalah satu inisiatif apabila kita memasukkan semua usahawan-usahawan kita ke dalam satu, a single window, dengan izin. Kita menggunakan pendekatan yang kita ada pada ketika ini adalah JASS, yang kita telah pun lancarkan pada awal tahun ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Layang-Layang, jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya mudah, soalan nombor 9.
Apakah status pembinaan Lapangan Terbang di Mersing?
Assalamualaikum Yang Berhormat Tuan Speaker, satu kertas kerja Kajian Kemungkinan ‘Feasibility Study’ berkenaan Cadangan Pembinaan Lapangan Terbang Mersing diterima daripada pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Kajian itu akan dijalankan oleh pihak Kementerian Pengangkutan. Permohonan bagi membiayai kajian itu dalam proses Kementerian Kewangan.
Sebagai latar belakang sedikit, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Mersing ini dikemukakan oleh ECER sejak tahun 2015. Tetapi, Kementerian Pengangkutan merasakan cadangan itu bukanlah satu keperluan yang mendesak. Kementerian Pengangkutan pada ketika itu juga sedang meneliti permohonan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Mersing.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan telah menerima cadangan daripada sebuah syarikat swasta yang berhasrat untuk membangun dan mengoperasikan sebuah lapangan terbang baru di Mersing. Pada masa ini MOT dengan kerjasama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang melaksanakan Kajian National Airports Strategic Plan (NASP). Kajian tersebut antara lain akan turut mengemukakan cadangan berhubung keperluan pembinaan atau menaik taraf lapangan terbang di seluruh Malaysia. Kajian ini dijangka akan dimuktamadkan pada Disember tahun depan. Dapatan kajian ini akan digunakan oleh MOT untuk menentukan pembangunan lapangan terbang di seluruh Malaysia termasuk cadangan pembinaan Lapangan Terbang Mersing.
Walau bagaimanapun, kerajaan mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam sebarang cadangan daripada syarikat swasta atau kerajaan negeri untuk membantu merancakkan ekonomi negara khususnya Johor. Namun, keputusan pembinaan sesebuah lapangan terbang termasuk yang dipertimbangkan di Mersing ini hanya dengan mengambil kira kedudukan semasa kewangan negara dan keutamaan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan lapangan terbang yang lain. Sekian terima kasih.
Ya, Layang-Layang.
Yang Berhormat Speaker, cadangan ataupun kajian ini adalah salah satu daripada titik fokus yang dibentangkan semasa Bajet Kerajaan Negeri Johor tahun lepas. Dan, secara terang Yang Berhormat EXCO telah menjawab bahawa tidak ada keperluan mendesak untuk kajian ini. Saya nak ingatkan bahawa pembentangan bajet adalah satu perkara yang penting, yang perlu dititikberatkan. Tapi tak apalah. Itulah status kerajaan pakatan.
Soalan?
Soalan saya, saya nak tanya tentang kos kajian untuk membuat Lapangan Terbang Mersing ini. Adakah ia setinggi kos kajian untuk pembinaan terowong di Pulau Pinang?
Jemput YB EXCO.
Saya tak ingat saya menyebut mengenai, saya cuma menyebut mengenai cadangan bagi kajian sedang dijalankan. Pembiayaan sedang dalam proses permohonan kepada Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM3 juta. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Yang Berhormat Rengit, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.
Minta penjelasan apakah produk-produk baru pelancongan Johor yang telah dikesan atau dicungkil oleh kerajaan hari ini dalam menarik lebih ramai pelancong datang ke Johor. Nyatakan produk tersebut mengikut daerah.
Yang Berhormat Yong Peng, jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan Yong Peng nombor 11.
Apakah perancangan kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di Yong Peng.
Yang Berhormat Bentayan, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 12.
Berapakah jumlah kehadiran pelancong ke daerah Muar serta nyatakan secara terperinci jumlah pelancong yang telah menginap/bermalam di sekitar daerah Muar bermula dari Jan 2018 sehingga kini serta di mana?
Yang Berhormat Sedili, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 13.
PBT Pengerang telah digazetkan sebagai bandar industri dan pelancongan. Industri yang sedang dijalankan seperti Rapid dan Dialog. Apakah perancangan yang dibuat untuk sektor pelancongan seperti pertandingan Jong dan Cup Prix yang pernah diadakan pada tahun 2017 dan 2018?
Yang Berhormat Endau, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 14.
Apakah program-program yang dirancang di peringkat kerajaan negeri bagi sektor pelancongan daerah Mersing untuk Tahun Melawat Johor 2020?
Yang Berhormat Penawar, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 15.
Apakah perancangan kerajaan negeri untuk penambahan baik kawasan-kawasan pelancongan terutama di kawasan DUN Penawar untuk masa sekarang dan akan datang.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Izinkan saya untuk menjawab soalan-soalan secara bersekali kerana menyentuh topik yang sama berhubung dengan sektor pelancongan negeri Johor. Terima kasih kepada Ahli-Ahli Dewan yang memberikan perhatian terhadap sektor ini.
Industri pelancongan di negeri Johor semakin berkembang maju dan menjadi salah satu hasil pendapatan negeri. Sektor pelancongan telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri sebagai salah satu daripada sektor yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Ianya selaras dengan langkah kerajaan negeri menganjurkan kempen Tahun Melawat Johor 2020 selari dengan penganjuran kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Oleh yang demikian, pelbagai rancangan penambahbaikan telah dirancang dan dirangka bagi memastikan sektor pelancongan di negeri Johor memberi impak yang positif termasuklah dari segi infrastruktur dan penganjuran acara-acara untuk menyambut kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Untuk makluman Endau, terdapat 11 acara yang telah dirancang oleh Tourism Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing dan Majlis Daerah Mersing sebagaimana berikut:
1. Pesta Air Papan. 2. Mesmerizing Race. 3. Mersing Art Fiesta.
4. Pulau Besar Regatta. 5. Arong Man. 6. Mersing MTB Jamboree. 7. Mersing MTB Enduro. 8. Mersing Beach Run. 9. Mersing International Coastal Clean Up. 10. Mersing International Fly Fest. 11. Mersing Monsoon Rugby Challenge.
Begitu juga dengan Pengerang, yang telah digazetkan sebagai Bandar Industri Pelancongan. Pelbagai langkah dan inisiatif telah dan akan diambil untuk menaikkan sektor pelancongan di kawasan tersebut. Terdapat 24 acara yang telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2020 seperti ASEAN Tourism Golf Tournament di The Els Club Desaru Coast, Pengerang Fest dan sebagainya. Kesemua 24 acara pelancongan ini yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan saya akan berikan secara bertulis kepada Sedili.
Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor juga telah mengenal pasti infrastruktur-infrastruktur pelancongan yang akan di naik taraf atau dibangunkan dengan kerjasama oleh Pejabat Daerah dan juga Kerajaan Tempatan serta pemilik produk demi keselesaan dan kemudahan para pelancong.
Antara infrastruktur yang dikenal pasti adalah Pantai Tanjung Buluh akan dibuka kepada orang ramai pada Disember 2019 dan akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 5 Disember 2019. Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang telah mengambil inisiatif untuk membina Pusat Informasi Pelancongan di Pengerang yang bakal dibuka kepada pelancong pada awal tahun 2020. Selain itu juga, Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang dalam usaha untuk menaikkan semula Sungai Rengit sebagai pusat rekreasi seperti Taman Merdeka di Hutan Bandar di Johor Bahru.
Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) telah pun melaksanakan kerja-kerja membaik pulih keadaan jalan raya di bawah seliaan Majlis Daerah Yong Peng melalui peruntukkan MARRIS yang diterima. Selain daripada itu, penyelenggaraan kemudahan awam sedia ada seperti tandas awam, gerai dan taman permainan turut dilaksanakan bagi menyokong aktiviti pelancongan di kawasan Yong Peng. Kerajaan negeri Johor juga telah membangun dan menaik taraf lokasi-lokasi potensi pelancongan seperti Pekan Ayer Hitam, Arena Warna, Dataran Yong Peng dan mempelbagaikan daya tarikan dengan mural-mural di beberapa lokasi yang strategik.
Untuk makluman semua, hubungan yang akrab bersama persatuan peniaga, pemandu-pemandu pelancong juga menjadi teras utama dalam meningkatkan kemasukan pelancong ke kawasan Majlis Daerah Yong Peng. Terbaru, dengan mencadangkan pembangunan di tapak-tapak lokasi potensi seperti Sawah Sagil.
Bagi tujuan promosi, Majlis Daerah Yong Peng telah mengadakan lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Yong Peng dan Ayer Hitam. Lawatan ini turut disertai oleh ADUN Yong Peng sendiri, wakil dari MOTAC, wakil dari Tourism Johor serta Ahli-Ahli Majlis.
Pertandingan fotografi tempat-tempat menarik di Yong Peng juga telah diadakan dan akan diadakan lagi pada masa yang akan datang. Majalah ‘DESTINASI’ Majlis Daerah Yong Peng juga telah diterbitkan bagi mempromosikan tempat-tempat menarik di Yong Peng. Majalah ini telah diedarkan ke jabatan-jabatan lain bagi tujuan memperkenalkan dan promosi.
Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor juga telah mengambil beberapa inisiatif dan langkah-langkah untuk memperkenalkan produk pelancongan baru yang dapat menarik pihak penganjur atau pelancong datang ke sesuatu daerah atau mukim di negeri Johor. Misalnya, di Simpang Renggam terdapat produk agro-pelancongan iaitu Ladang Jagung yang terletak di Parit Ghani dan berjaya menarik lebih 55,000 pelawat atau pelancong mengunjungi ke ladang ini. Selain daripada itu, pembukaan Pusat Kecemerlangan Realiti
Maya (VRinity) di Iskandar Puteri, Johor turut merupakan pusat berteknologi pertama seumpamanya di ASEAN dan mampu menyasarkan kehadiran 40,000 pengunjung bagi tahun pertama pembukaan VRinity ini. Beberapa destinasi pelancongan juga telah dikenal pasti dan boleh diketengahkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Johor seperti perkampungan Orang Asli di Sungai Peru yang mempunyai banyak aktiviti berasaskan alam semula jadi dan HS Farm yang mampu meninggalkan kenangan yang menarik kepada para pelancong. Kerajaan negeri berharap dapat menjalinkan hubungan sinergi antara sektor awam dan swasta serta pemain industri pelancongan bagi menerokai potensi produk pelancongan baharu yang dapat membawa Johor sebagai destinasi percutian yang mesti dilawati serta terkenal di seluruh dunia.
Untuk makluman Bentayan, daerah Muar merupakan salah sebuah daerah yang sangat unik dan telah memenangi Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standard Award 2017. Daerah Muar juga turut menjadi tumpuan utama bagi pelawat atau pelancong domestik dan antarabangsa. Bagi tahun 2018, jumlah pelancong atau pelawat melalui Jeti Muar adalah seramai 58,093 orang. Manakala bagi tahun 2019 hingga September 2019, jumlah pelancong atau pelawat melalui Jeti Muar adalah seramai 64,907 pelawat. Sumber data tersebut adalah daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut maklumat statistik daripada sumber kedua iaitu Tourism Malaysia dan jumlah pelancong bermalam hasil daripada hotel survey telah mencatatkan seramai 7.4 juta bagi tahun 2017, 7.6 juta bagi tahun 2018 dan ini merekodkan peningkatan data pelancong bermalam. Bagi Januari hingga Mac 2019 pula mencatatkan 104,080 pelancong. Namun bagi daerah Muar pula, hasil daripada hotel survey ini merupakan jumlah pelancong yang bermalam bagi tahun 2018 adalah seramai 269,548 pelancong. Bagi tahun 2019 pula, adalah setakat ini adalah bagi Januari hingga bulan Mac adalah mencatatkan seramai 64,348 pelancong. Statistik pelawat atau pelancong dari tahun ke tahun telah menunjukkan peningkatan ini dan disebabkan oleh sokongan dan kerjasama yang berterusan oleh semua pihak. Dan saya berharap sokongan dan kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi dan menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi dan menjayakan Kempen Tahun Melawat Johor 2020. Sekian, terima kasih.
Jam telah menunjukkan pukul 11, jadi saya kira tamat setakat ini sahaja untuk soalan lisan. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita berehat sehingga pukul 11.20 pagi. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Ke-2 Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2020) Tahun 2019.Bill
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat pagi, salam sejahtera. Kita sambung lagi persidangan pada tengah hari ini, saya mempersilakan Penggaram.
Selamat pagi, selamat sejahtera, salam harapan. Terima kasih kepada YB Tuan Speaker memberi peluang kepada Penggaram untuk memberi perbahasan dalam Belanjawan 2020. Terlebih dahulu Penggaram merafak sembah, merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat ulang tahun keputeraan kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Penggaram berdoa agar Tuhan melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Penggaram berasa tiba-tiba disalam dengan angka 15,086 semalam pada hari pertama. Jadi, saya ucap tahniahlah kepada Barisan Nasional telah menang dalam PRK Tanjung Piai.
Mula-mula saya fikir, dia bagi saya nombor 4D ke 5D? 1586, tapi kemenangan ini besar patutnya ucap salam ini diiringi dengan ucapan yang disukai bukan disakiti.
Ha, dengar itu Sri Medan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam belanjawan yang kedua selepas Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor, kita telah menyaksikan pelbagai perubahan atau pembaharuan yang telah dirangka oleh kerajaan untuk semua lapisan masyarakat di negeri ini. Sebanyak 183 titik fokus telah pun di bentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Di sini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah membentangkan titik fokus 161, iaitu memelihara bangunan-bangunan warisan dan tapak sejarah di negeri Johor. Menerusi titik fokus berkenaan, ianya akan menyaksikan bangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat bakal berubah wajah menjadi Muzium Batu Pahat serta membaik pulih Muzium Tokoh Johor di Bangunan Dato’ Jaafar. Ini adalah sejajar dengan kehendak rakyat di Batu Pahat yang mana menginginkan sebuah muzium dibina di Batu Pahat walaupun sebelum ini di Batu Pahat telah ada dua EXCO Kebudayaan dan Warisan, namun mereka tidak berjaya mewujudkan muzium berkenaan.
Namun, kita perlu berterima kasih kepada EXCO Kebudayaan dan Warisan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang telah berjaya merealisasikan hasrat rakyat di Batu Pahat. Dalam pada itu, menerusi titik fokus 162 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, turut memberi perubahan dan pembaharuan kepada rakyat di kawasan Batu Pahat dengan melaksanakan Kajian Sejarah Warisan Dan Morfologi Bandar Penggaram di mana tapak-tapak sejarah akan diwartakan sebagai bangunan atau tapak warisan.
Seterusnya, Yang Berhormat Speaker, dari aspek kesihatan iaitu Kad Sihat Johor menerusi pembentangan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ianya menyaksikan penambahan kuota, penerima Kad Sihat Johor di bawah B40 dari 14,000 penerima meningkat kepada 28,000 keluarga dan 19 individu pada 2020. Inisiatif ini merupakan antara salah satu langkah kerajaan negeri untuk meneruskan Program Kad Sihat Johor yang mana ianya merupakan salah satu Akujanji Pakatan Harapan dan disambut baik rakyat negeri Johor. Tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat EXCO Kesihatan yang telah turun padang bagi memastikan semua hospital dan klinik di negeri Johor dalam keadaan baik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Mama Friendly adalah projek perintis kerajaan negeri Johor. Di mana ia menyediakan kemudahan bilik penyusuan kepada penjawat awam wanita. Sebagai usaha menyediakan persekitaran dan kondusif untuk membolehkan wanita berkerjaya terus menyusukan anaknya. Belanjawan Johor 2020 telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi tujuan pelaksanaan, promosi dan program kesedaran Mama Friendly untuk tahun hadapan. Penggaram ingin tahu, sejak Program Mama Friendly dilancar dan dilaksanakan pada Mei tahun ini, berapa banyakkah badan-badan kerajaan, swasta dan NGO yang terlibat menyokong dan melaksanakan penyediaan bilik Mama Friendly ini? Adakah pelaksanaan program ini pada tahun ini telah menepati sasaran? Iaitu menubuhkan sebanyak 30 bilik Mama Friendly dan apakah sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2020?
Penggaram menyokong penuh usaha program ini dan berharap ia mendapat kerjasama dari semua jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan di dalam usaha kerajaan mengiktiraf sumbangan dan peranan golongan wanita di dalam membangunkan negara khasnya di negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, antara titik fokus Belanjawan Johor 2020 adalah untuk memajukan sektor pelancongan di mana kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada Tourism Johor untuk melaksanakan enam inisiatif sempena Visit Johor 2020. Antara keenam-enam inisiatif tersebut tidak disebut inisiatif bagi menaik taraf atau memulihara tempat atau destinasi pelancongan yang sedia ada. Di sini, Penggaram ingin
mengangkat sebuah destinasi yang difikirkan menarik dan mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri Johor iaitu Taman Botani Johor. Pada Mei 2015, kerajaan dahulu pernah merangka Pelan Induk Pembangunan Landskap untuk jangka masa 10 tahun bagi membangunkan Taman Botani tersebut. Di mana ianya dijangka melibatkan peruntukan sejumlah RM20 juta di bawah Perancangan Malaysia Ke-11 tetapi sama ada pelan tersebut gagal atau tidak sempat disempurnakan mahu pun ia hanya sekadar janji yang tidak ditepati oleh kerajaan lalu. Penggaram ingin tahu, adakah pelan tersebut masih diteruskan atau tidak oleh kerajaan kini? Penggaram juga ingin mengetahui sehingga April 2018, berapakah jumlah peruntukan yang telah digunakan oleh kerajaan terdahulu di dalam melaksanakan pelan induk pembangunan bagi Taman Botani Johor? Penggaram berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat mengkaji semula pelan induk membangunkan pembangunan bagi Taman Botani tersebut sebagai langkah memulihara destinasi pelancongan sedia ada yang terdapat di negeri Johor.
Penggaram juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di atas pembinaan benteng di sepanjang pesisiran pantai barat daerah Batu Pahat. Penggaram ingin menarik perhatian kerajaan supaya tidak meminggirkan pembangunan destinasi pelancongan di pesisiran pantai sepanjang Batu Pahat yang mempunyai potensi tarikan pelancongan dari segi pemandangan yang indah khususnya sunset tapi bukan matahari terbit dari barat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram mengangkat usaha murni kerajaan negeri di dalam melaksanakan proses pemutihan lesen hiburan. Ia adalah langkah di dalam menuju dan menjamin kemakmuran dan kesejahteraan di negeri Johor ini. Penggaram maklum melalui PBT sesetengah kawasan di negeri Johor, selepas persempadanan semula PBT telah menjalankan pemutihan lesen hiburan. Penggaram berharap di dalam kita melaksanakan sesuatu dasar, kerajaan hendaklah memberi suatu jangka masa yang dikira sesuai kepada peniaga-peniaga. Penggaram dimaklumkan terdapat premis-premis yang sedang mengorak langkah mengambil inisiatif di dalam mendapatkan lesen hiburan tetapi telah dikena tindakan. Sebagai kerajaan yang prihatin, adakah kerajaan tidak memandang dan mengambil kira peniaga yang mempunyai inisiatif di dalam usaha untuk mendapatkan lesen hiburan supaya mereka diberi tempoh yang bersesuaian. Penggaram menganggap langkah yang diambil oleh kerajaan mestilah lebih bersifat mendidik berbanding menghukum. Begitu juga halnya dengan proses ubah syarat kegunaan tanah. Adakah kerajaan merancang memberi insentif yang munasabah seperti pemberian diskaun, mempercepatkan prosedur seperti mengurangkan birokrasi dan mewujudkan satu garis panduan khas untuk pemutihan ini. Penggaram pasti kerajaan sedar bahawa perkara ini secara timbal balik akan memberi manfaat kepada kerajaan dari sudut penambahan hasil.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram dimaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan Permit Khas Ternakan Ayam (PKTA) di atas tanah yang tiada kategori mahupun tanah kategori pertanian. Penggaram memandang usaha ini sebagai inisiatif kerajaan di dalam mensejahterakan negeri Johor. Penggaram ingin mengetahui adakah kerajaan telah mengambil kira dari pelbagai sudut termasuk mendengar pendapat dan pandangan para pengusaha ladang terbuka. Di dalam melaksanakan permit khas ternakan ayam ini, Penggaram dimaklumkan bahawa pelaksanaan ini akan menjejaskan pengeluaran telur dan daging ayam di dalam tempoh 5 tahun. Perkara ini sekali gus akan menjejaskan ekonomi kehidupan keluarga pengusaha ladang terbuka khasnya perusahaan kecil dan sederhana. Penggaram sedia maklum dengan kegagalan kerajaan lalu di dalam mendidik para peniaga mahupun pengusaha untuk membuat sesuatu perkara mengikut prosedur yang betul, tetapi, sebagai kerajaan yang lebih prihatin dan bersikap mendidik janganlah kita menghukum para pengusaha kerana kegagalan kerajaan dulu.
Kerajaan Pakatan Harapan mesti menunjukkan dan membuktikan perubahan yang bahawa kita bukan hanya tahu menjalan penguatkuasaan sahaja tetapi membantu di dalam membimbing dan mendidik masyarakat untuk menjalankan sesuatu perkara mengikut lunas peraturan yang betul serta bersikap terbuka di dalam mendapatkan maklum balas dari
pengusaha atau peniaga. Umum sedia maklum di dalam melaksanakan sesuatu perkara yang betul ia memang sukar. Pelbagai onak dan duri perlu ditempuhi. Malah, terpaksa berhadapan dengan kemungkinan sokongan masyarakat kepada kerajaan Pakatan Harapan berkurangan tetapi kita yakin sesuatu perkara yang betul, dijalankan dengan betul kelak akan membuahkan hasil yang baik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, semalam YB Kahang ada menyentuh berkenaan peruntukan masyarakat India berbanding tahun 2018. Di sini Penggaram ingin memberitahu kepada YB Kahang, bahawa kerajaan mempunyai pelbagai inisiatif lain yang diperuntukkan seperti program-program di bawah portfolio keusahawanan di mana peruntukan tersebut diagihkan tidak berdasarkan kaum mahupun agama. Sebagai bekas seorang EXCO Perpaduan Negeri Johor suatu ketika dulu, YB Kahang sepatutnya memandang positif jurang yang semakin kecil di dalam pengagihan peruntukan berdasar kaum mahupun agama di mana ia telah diletakkan di bawah peruntukan-peruntukan lain. Sampai bila Kahang ingin sesuatu peruntukan itu diagih mengikut kaum dan agama dan bukan diagih berdasarkan keperluan? Ini merupakan langkah yang baik dari kerajaan Johor yang diterajui oleh Pakatan Harapan di dalam usaha mewujudkan kemakmuran dan perpaduan di kalangan bangsa Johor. Saya sangat tersentuh apabila Kahang menyentuh di dalam isu perpaduan. Semalam Kahang menyatakan perpaduan sepatutnya bermula di peringkat yang paling asas iaitu peringkat kanak-kanak. Di sini Penggaram ingin bertanya kepada Kahang, di mana relevannya jika kita memupuk semangat perpaduan di peringkat kanak-kanak tetapi apabila meningkat umur dewasa perjuangan dan ideologi politik diasingkan mengikut parti dan berdasarkan sesuatu kaum dan agama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram berbesar hati ingin merakamkan ucap tahniah kepada YB Benut, tapi YB Benut macam tak ada hari ini, kerana mampu menjadi Ketua Pembangkang yang baik di dalam Dewan yang mulia ini. Mengguna perkataan dan ayat yang baik di dalam perbahasan membuktikan kematangan dan pengalaman YB Benut di dalam menghormati Dewan yang mulia ini. Penggaram berharap Benut mampu menjadi tauladan yang sesuai yang memberi tunjuk ajar kepada barisan di sebelah sana untuk menggunakan perkataan dan ayat yang lebih sesuai di dalam Dewan yang mulia ini khasnya kepada Layang-Layang. Penggaram faham Layang-Layang kini sedang menghayati agenda penyatuan ummah dan mula mengikut kaedah dari rakan baiknya.
Yang Berhormat, peraturan Yang Berhormat. Seseorang Ahli tidak boleh sekali-sekali mendatangkan sangkaan-sangkaan yang tidak baik pada seorang Ahli yang lain. Peraturan 45 Sub Seksyen 13A. Yang Berhormat Penggaram seolah-olah mengatakan bahawa saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai di dalam Dewan yang mulia ini. Jadi, saya minta dia tarik balik kenyataan tersebut.
Okey, duduk dulu Penggaram, Penggaram duduk dulu.
Saya nak tanya Penggaram apakah sangkaan Penggaram pada masa bercakap tadi, baik atau tak baik?
Dia menggunakan kerajaan munafik.
Satu nasihat daripada Penggaram, dia nasihat Yang Berhormat.
Yang Berhormat, saya nak tanya, kenapa perkataan munafik itu tidak boleh digunakan di dalam Dewan ini? Setahu saya, ustaz bercakap kalau tak percaya pun boleh check dengan website JAKIM, bila bercakap, berbohong, bila berjanji, tidak menunaikan, bila diberikan amanah, mengkhianati, itu definisi munafik. Jadi kenapa perkataan munafik tidak boleh digunakan di Dewan yang mulia ini? Sebab semalam pun ada daripada Pemanis yang tegur saya, daripada Bukit Gambir tegur saya, apa istilah yang lebih sesuai untuk saya gunakan untuk kerajaan Pakatan?
Okey, boleh saya jelaskan begini dalam kenyataan Layang-Layang itu menyebut bahawa kerajaan Pakatan Harapan kerajaan munafik. Itu lah yang menjadi pertikaian. Adalah lebih baik Layang-Layang menyebut begini, “Kerajaan Pakatan Harapan harus diingat jangan sampai menjadi munafik.” Itu boleh, tapi kalau dah tuduh itu, itu masalahlah, hindari daripada sifat-sifat orang munafik, itu okey. Tapi kalau dah tuduh Pakatan Harapan kerajaan munafik, itu dah satu tuduhan, tapi kalau ingatan kerajaan Pakatan Harapan jangan menipu rakyat, jangan mengabaikan tanggungjawab, menjadi orang munafik, itu okey, begitu sebenarnya maksudnya.
Tapi faktanya Yang Berhormat, masih lagi belum ditunaikan, kalau nak saya tarik balik, tapi saya hormati Yang Berhormat Speaker dah buat ruling semalam, tapi kalau nak saya tarik balik kenyataan munafik, tunaikanlah janji-janji tersebut, itu saja.
Maksudnya sekarang ini kerajaan Pakatan Harapan sedang menunaikan tapi Yang Berhormat dah sebut Pakatan Harapan kerajaan munafik, itu yang jadi masalah. Saya kira begitulah.
Tapi dah dua tahun Yang Berhormat.
Ya lah, dia punya tempohkan 5 tahun. Okey, saya persilakan terus Penggaram.
Ini cuma nasihat saja. Kalau dia tak terima saya pun tak boleh buat apa.
Nasihat daripada Timbalan Speaker yang cantik kan.
Sangat ayu Yang Berhormat.
Teruskan.
Tapi kita masih ada tempoh 5 tahun bukan 2 tahun sahaja kita kena menunaikan kita ada tempoh 5 tahun kalau dalam tempoh 5 tahun kita tak boleh tunaikan janji barulah you kata kita munafik. Penggaram faham ini adalah satu di mana-mana pihak pun boleh memberi kritik kepada kerajaan Pakatan Harapan. Kita terima. Tetapi, pakailah bahasa yang elok, lebih elok. Bukan itu sahaja. Soalan Layang-Layang berkenaan menghapuskan Tol Simpang Renggam adalah sangat jelas ianya di bawah jagaan kerajaan persekutuan. Menurut Perkara 25 (6) di dalam Peraturan Mesyuarat, apabila sesuatu soal yang didatangkan itu adalah merujuk kepada sesuatu perkara yang di dalam jagaan kerajaan persekutuan atau sebarang jabatan persekutuan mengikut kuat kuasa Perlembagaan Persekutuan maka speaker boleh dengan membenarkan soal yang tersebut itu. Penggaram berharap YB Benut dapat memberi tunjuk ajar kepadanya tentang Peraturan-Peraturan Dewan sama ada boleh atau tidak membuat rakaman di dalam Dewan ini dan bagaimana sesuatu soalan itu boleh diterima atau ditolak. Jika sesuatu soalan itu ditolak, mesti ada sebabnya yang munasabah, di mana ia mungkin tidak selaras dengan Peraturan Dewan. Akhir kata, Penggaram mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas kejayaan menyediakan serta membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan “Memakmur Dan Mensejahtera Johor Bestari”. Penggaram dengan sukacita menyokong Belanjawan Johor 2020. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih kepada Penggaram. Seterusnya saya persilakan Permas.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Haji Speaker. Bismillahhirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam harapan. Terlebih dahulu bersyukur kita ke hadrat Allah SWT dengan limpah dan kurnianya kita sama-sama pada pagi ini dapat berkumpul di dalam Dewan yang mulia ini dengan izin-Nya. Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang
Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang ke-61 tahun, patik mewakili rakyat DUN Permas merafak sembah dan junjung setinggi-tinggi kasih semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sihat, sejahtera untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat Johor Darul Ta’zim.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pertamanya ingin Permas mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Memakmur Dan Mensejahtera Johor Bestari adalah tema Belanjawan Johor 2020 yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji Jamal. Sememangnya rintihan rakyat didengari serta diberikan perhatian pemangkin pelaburan untuk menjana industri yang mensasarkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Johor, hala tuju yang tepat untuk merealisasikan wawasan Johor berprestasi tinggi. Tidak lupa juga Permas ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana mengiktiraf Pasir Gudang sebagai Bandaraya pada tahun 2020 nanti. Insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan mengutamakan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau kaum sekali gus mampu mencerminkan perancangan sistematik sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Penekanan utama kerajaan Belanjawan 2020 adalah terhadap tanggungjawab dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang dapat memberikan manfaat kepada pelbagai pihak. Untuk mencapaikan hasrat tersebut, kerajaan akan terus komited untuk menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan kreatif demi menjamin kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebulan bonus atau RM2,000.00. Masya-Allah, suatu yang belum pernah didengari, dirasai serta langsung tidak pernah ada dalam sejarah kerajaan sebelum ini. Sebagai kakitangan kerajaan yang mengerti untuk bersyukur, seharusnya meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar terhadap kakitangan kerajaan jelas ditujukan dalam Belanjawan 2020 kali ini. Dan kita sebagai kakitangan yang menjadi tulang belakang kerajaan harus memikul tanggungjawab untuk menunaikan yang telah diamanahkan. Berhemah dalam urus tadbir kewangan merupakan kunci untuk menghasilkan insentif tambahan kepada kakitangan yang mana ia juga akan dinikmati oleh semua pihak termasuk pihak yang berada di hadapan kita. Alhamdulillah, bersyukurlah kita dengan nikmat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Permas ingin mengutarakan beberapa perkara tentang isu setempat yang menjadikan permasalahan semasa. Isu pertama, isu pekerja asing yang terlalu bebas dalam pergaulan di luar waktu bekerja terutamanya di hostel penginapan atau asrama tempat tinggal mereka. Permas sendiri telah turun melihat sebuah penempatan pekerja asing di Taman Air Biru, Pasir Gudang. Dari segi luarannya cukup lengkap berpagar siap dengan ada pengawal keselamatan yang mengawal pekerja dari luar masuk. Apa yang membimbangkan Permas adalah apabila masuk ke dalam, tiada yang mengasingkan antara pekerja lelaki dan wanita. Lelaki bebas keluar masuk dari blok pekerja wanita serta sebaliknya. Amatlah tidak sesuai keadaan seperti ini berlaku. Permas berharap EXCO Kerajaan Tempatan, EXCO Perumahan serta EXCO Agama, dapat memberikan perhatian terhadap perkara ini dan semoga ia ditangani dengan kadar yang segera. Permas mencadangkan penempatan baharu khas untuk pekerja asing yang lebih bersepadu dengan segala kelengkapan dan kemudahan asas supaya mereka dapat fokus untuk bekerja dan secara langsung tidak mempunyai ruang untuk berlaku masalah-masalah sosial di kalangan pekerja asing tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu kedua, Permas amat tertarik dan menyokong penuh kenyataan sahabat dari Medan, dari Seri Medan berkenaan dengan pusat pelupusan sampah di Benut, Bukit Payung yang mana ditolak rakyat.
Bukan Benut.
Parit Sulong. Parit Sulong. Lupa saya dahulu pun Ketua Bahagian Parit Sulong sebenarnya. Jadi, itulah Sri Medan ini sahabat saya. Selalu kita mengeteh ya. Jadi, Kalau Bukit Payung tak nak, hantar sahaja di Pasir Gudang. Permas pernah membangkitkan satu isu berkaitan pusat pelupusan sampah berteknologi tinggi atau lebih dikenali sebagai incinerator, dengan izin. Apakah masih tiada perancangan atau kemajuan dalam menilaikan sama ada teknologi seperti ini sesuai atau tidak dibangunkan? Permas memerlukan kepastian. apa yang pasti sedang berlaku adalah tapak pelupusan sampah di Pasir Gudang, jika diukur dari paras laut, ada kemungkinan untuk dapat diiktiraf sebagai bukit yang tertinggi di Pasir Gudang. Ia juga merupakan antara penyumbang kepada pencemaran udara dan juga penyakit berjangkit. Permas memohon kepada yang berkenaan semoga incinerator, dengan izin di Pasir Gudang dipercepatkan dengan kadar yang amat segera. Pasir Gudang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Permas sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada usaha sama kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang telah menunaikan janji untuk menubuhkan sebuah cawangan Alam Sekitar yang berpusat di Menara Aqabah di Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Ini secara tidak langsung akan memberikan impak yang positif terhadap pemantauan dan kawalan pencemaran secara khusus di Pasir Gudang. Permas memohon kepada semua Ahli Dewan Undangan yang mulia ini dapat bersama-sama mendoakan agar isu pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang tidak lagi berulang, insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, yang ketiga, sebagai pembangkitan harapan, Permas sekali lagi dalam Dewan yang mulia ini, Permas memohon penjelasan tentang laporan kemajuan projek hospital di Pasir Gudang. Adakah ia berjalan? Jika ia berjalan, berapa peratuskah proses progress dan jangka siap? Sejauh, sejarah menunjukkan janji hanya tinggal janji. Namun Permas yakin, kerajaan Harapan adalah kerajaan yang berbeza kerana kerajaan Harapan adalah kerajaan yang menunai janji. Merealisasikan sebuah hab hospital di Pasir Gudang adalah perkara paling utama harus ditunaikan kerana ia adalah simbol kepada kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu keempat, projek penempatan semula warga setinggan di Kampung Senibong. Masih belum menampakkan jalan yang sesuai. Jalan sesuai sama ada ia akan kembali diteruskan. Apakah kesulitan, apakah kesulitan yang dihadapi pemaju dan apakah rakyat masih perlu untuk menderita dalam kehidupan seharian mereka? Apakah tiada tindakan daripada EXCO Perumahan atau EXCO Kerajaan Tempatan untuk projek rakyat seperti ini diteruskan dan menyelesaikan demi untuk rakyat?
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu kelima, di Pasir Gudang mempunyai satu terminal feri yang telah beroperasi lebih 20 tahun dengan menggunakan fasiliti yang masih sama sewaktu pertama ia beroperasi. Permas menggesa, demi keselamatan rakyat untuk Terminal Feri Antarabangsa Pasir Gudang dipantau dan dinilaikan kembali untuk mencapai taraf keselamatan dan perkhidmatan yang setaraf terminal feri antarabangsa negara maju.
Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir sekali dari sudut hati Permas ingin menyatakan kesedihan di atas keputusan PRK yang lepas di Tanjung Piai. Di mana rakyat memilih Wakil Rakyat mereka di Parlimen Tanjung Piai. Namun begitu, Permas menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Permas menggesa kepada rakan-rakan untuk mengambil iktibar dengan melipatgandakan usaha dan kerja lebih kuat untuk memenangi kembali hati rakyat pada PRU akan datang. Semoga diberikan hidayah kepada Ahli Parlimen Tanjung Piai untuk ikut bersama-sama dalam rombongan yang beliau janjikan kepada pengundi warga emas Tanjung Piai untuk ke tanah suci Mekah iaitu mengerjakan umrah. Insya-Allah, semoga Allah memberi rahmat pada beliau, pergi bersama-sama dengan jemaah yang dijanjikan. Bila sudah berjanji, haruslah kita tunaikan sebelum ia dituntut rakyat.
Tanjung Piai tidak ada dekat sini, Yang Berhormat.
Iya?
Tanjung Piai tidak ada dekat sini.
Tanjung Piai tidak ada tapi kawan-kawan ada boleh sampaikan. Permas menyokong penuh Belanjawan Johor 2020. Pada Allah kita berserah dan semoga kita dirahmati dan dilindungi Allah setiap masa. Sekian, wabilahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Terima kasih kepada Permas. Seterusnya saya persilakan Kemelah.
Bismillahirrahmannirahim. (Bacaan doa.) Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana mengizinkan Kemelah untuk membahas Belanjawan Johor 2020. Yang Berhormat Tuan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan Johor 2020 bertemakan “Memakmur dan Mensejahtera Johor Bestari”. Kemelah mendoakan agar Johor agar terus makmur, mendapat limpahan dan diberkati Allah di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Di kesempatan ini juga Kemelah bersama warga DUN Kemelah merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim pada 22 Disember 2019 yang lepas. Kemelah berdoa semoga Allah SWT melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan sentiasa berada dalam keadaan sihat, walafiat, sejahtera, bahagian, dirahmati dan diberkati untuk terus menaungi sekalian rakyat dengan adil dan saksama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kemelah yakin Belanjawan Johor 2020 akan memperkasa wawasan kemakmuran bersama 2021-2023. Di bawah kerajaan yang sama yakni kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan dan juga di peringkat negeri. Sinergi ini amat penting dalam mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Bagi membangunkan serta merancakkan lagi ekonomi negara. Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, amatlah penting kita semua bersatu hati memastikan kepentingan rakyat diutamakan. Kemelah yakin Belanjawan Johor 2020 akan melengkapkan Belanjawan negara yang telah dibentangkan pada bulan Oktober yang lepas. Kemelah mengucapkan tahniah atas pencapaian ekonomi negeri Johor pada kadar 5.6% pada tahun 2018 berbanding kadar 4.7% di peringkat nasional.
Selain itu Kemelah juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri membawa pelabur-pelabur asing dengan nilai pelaburan langsung asing, FDI sebanyak 24.036 bilion yang diterima pada tahun 2018 berbanding hanya 5.102 bilion pada tahun 2017. Iaitu pertambahan hampir 5 kali ganda. Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri. Kemelah yakin kerancakan ekonomi ini bakal diterjemah kepada kemakmuran yang dapat dirasai oleh seluruh bangsa Johor pada masa-masa mendatang. Kemakmuran ini bukan sahaja meningkat taraf hidup seluruh warga bangsa Johor, malah meningkat nilai rantaian dalam pembangunan modal insan bangsa Johor. Tahniah malah Kemelah ucapkan atas usaha penubuhan Universiti Johor dan Kolej Universiti MARSAH. Seterusnya mengajak, menganjak bangsa Johor dari bangsa consumer and implementor, dengan izin, semata-mata kepada bangsa yang mencipta yakni, creator, developer and innovator, dengan izin, melalui peluasan penyelidikan dan pembangunan R&D.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kegagalan mencapai matlamat Wawasan 2020, adalah disebabkan perlaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan matlamat asal Wawasan 2020. Diburukkan lagi dengan masalah ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Justeru, Kemelah mengalu-alu dan mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri atas penubuhan Jawatankuasa Anti Rasuah di semua peringkat jabatan dan penyediaan Pelan Anti Rasuah Negeri Johor, seperti yang disebut di bawah Teras keenam, menambah baik tadbir urus yang cekap dan berintegriti.
Bagi melengkap inisiatif yang baik ini Kemelah memohon mencadang agar unit audit di bawah kerajaan negeri diperkasa sebagai satu unit yang dapat berfungsi dengan lebih baik. Laporan berkala terhadap urus tadbir yang baik merangkumi ketersediaan garis panduan kerja serta SOP yang jelas. Ketersediaan anggota melaksana tugas dengan baik perlu dilaksanakan. Amalan pengurusan terbaik, best practiced, dengan izin, serta peningkatan kualiti kerja sebagai contoh, mengguna kaedah-kaedah PDCA, (Plan, Do, Check, Act) dengan izin, sistem penyampaian yang berkesan perlu menjadi agenda unit audit serta unit yang berkaitan dengan kualiti kerja. Pemerkasaan unit audit bersama unit kualiti kerja merupakan langkah pre-emptive, dengan izin, bagi mengelak salah guna kuasa dan urus tadbir yang lemah dalam pentadbiran agar ianya dapat diperbaiki. Ingatlah kata-kata Syaidina Umar Al-Khatab yang membawa maksud, ‘hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab’. (Bercakap dalam Bahasa Arab). Kemelah ingin membawa beberapa contoh akibat dari pengurusan yang lemah yang menyebabkan ketirisan di dalam kerajaan. Contohnya ialah pembinaan aset-aset kerajaan, seperti bangunan kekal di atas tanah persendirian. Begitu juga jalan-jalan yang dibina atas tanah persendirian. Pengalaman Kemelah sendiri ada tuan punya tanah yang mengizinkan dan membenarkan supaya bangunan diambil balik bersama dengan tanah tersebut dan ada yang tidak mengizinkan. Begitu juga dengan pengurusan dewan yang sebelum ini diurus oleh Persatuan NGO dan sebagainya, yang tidak berdaftar ya. Perlu dilihat semula, dan seterusnya melaksanakan arahan daripada Mesyuarat Kerajaan Negeri berkaitan dengan menyerah balik aset-aset kerajaan seperti dewan, balai raya dan sebagainya kepada Pejabat Daerah, PBT dan MPKK. Seterusnya, ingin Kemelah bangkitkan isu berkaitan urus tadbir lebih cekap dan berintegriti. Kemelah mencadangkan agar segala pemberian sebut harga secara terus pada semua peringkat hendaklah dilakukan secara telus. Masih terdengar suara-suara menyatakan pemberian sebut harga dimonopoli oleh individu-individu tertentu, menggunakan lesen beberapa syarikat. Jika benar keadaan ini, kerajaan perlu tegas dalam memastikan agar semua yang berdaftar layak untuk diberi peluang dan tidak berlaku monopoli oleh pihak tertentu. Ketelusan dan integriti perlu ditegakkan. Akauntabiliti terhadap mereka yang diberi kuasa menentukan kontraktor mana yang layak mendapat sebut harga dan kontrak perlu dikuatkuasakan. Agensi-agensi kerajaan perlulah kerjasama, bekerjasama untuk memastikan sistem penyampaian yang berkesan. Pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri akan gagal jika rakyat secara umumnya tidak mengetahui inisiatif-inisiatif yang baik ini. Sedangkan inisiatif seperti melibatkan kebajikan, kesihatan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai lagi, adalah hak rakyat yang berhak menerimanya, khususnya daripada golongan B40. Kemelah mengharapkan agar Jabatan Penerangan akan terus memberi sokongan melalui kempen-kempen bagi memastikan sistem penyampaian maklumat, information delivery system, dengan izin, yang cekap. Jabatan Penerangan melalui NGO Komuniti Harapan Malaysia bersama MPKK, boleh memacu sistem maklumat yang berkesan. Papan tanda berupa billboard, dengan izin boleh dipasang di tempat-tempat strategik. Selain itu portal bersepadu, boleh disediakan oleh kerajaan negeri yang mempunyai link, dengan izin, ke laman-laman agensi menyedia perkhidmatan. Kerana setakat ini kita lihat setiap agensi mempunyai URL, ataupun laman-laman agensi yang tersendiri yang menyusahkan rakyat untuk mencari maklumat yang berkaitan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Speaker dan Pejabat Dewan atas penganjuran Bengkel Memperkasa Dewan pada 9 dan 10 Julai yang lepas. Ini adalah di antara usaha memastikan semak dan imbang, dan demokrasi yang
lebih matang dapat di bincang secara terbuka demi kebaikan negeri dan negara. Kemelah merasa gembira kerana rata-rata Speaker dan Timbalan Speaker dari negeri-negeri Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak telah hadir bersama-sama termasuk dari negeri yang ditadbir urus oleh pembangkang. Program tersebut juga Kemelah dapati telah dihadiri oleh pembangkang yang datang dari negeri Kedah. Tahniah diucapkan, dan juga Kemelah ingin mengucapkan tahniah kepada YB Bukit Pasir, wakil tunggal pembangkang Dewan ini yang telah hadir pada bengkel tersebut. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi negeri dan negara maju, dan makmur serta rakyat boleh terus hidup dalam aman dan damai, segala bentuk gejala melampau perlu dibanteras. Ambillah pengajaran di Timur Tengah, yang masih belum henti dari pergolakan hingga ramai rakyat terkorban, harta benda musnah, negara berada dalam keadaan kucar dan kacir. Darah tertumpah, kerana darah dan maruah begitu murah. Mudah melabel mereka yang tidak sehaluan atau berbeza pandangan. ISIS memberi justifikasi, darah sesama umat Islam halal. Mengkafir dan memunafik walaupun sesama saudara seagama. Apakah yang dimaksudkan golongan munafik? Firman Allah SWT dalam surah al-Munafiqun, (Bacaan potongan ayat al-Quran) ‘Apabila orang-orang munafik datang kepadamu wahai Muhammad, mereka berkata, kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah, dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau yakni Muhammad ialah Rasulnya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya mereka adalah dusta’. Munafik ialah Islam pada zahir dan kafir pada batinnya. Menuduh orang lain munafik, seolah-olah menuduh dia menjadi kafir batinnya. Menelusuri sirah Nabi SAW, Nabi SAW sendiri tidak melabel umatnya individu atau kumpulan sebagai munafik. Sehinggakan Syaidina Umar Al-Khatab sendiri tidak tahu siapa betul-betul munafik di kalangan umat Islam ketika itu. Hanya penyimpan rahsia sahaja, yakni Huzaifah Al-Yaman sahaja yang diberi maklumat oleh baginda Rasulullah SAW siapa yang munafik. Perlu kita ingat akan ingatan Allah SWT tentang orang munafik. (Bacaan potongan ayat al-Quran), ‘Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya dan janganlah engkau berada di tepi kuburnya’, apabila kita mudah untuk melabel kafir atau munafik banyak implikasinya dan perlu kita lihat ini secara dengan lebih baik, dengan lebih panjang lagi jangkanya ya. Ayat yang dibacakan tadi adalah surah at-Taubah, ayat 84. Tidak dinafikan berkaitan dengan hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah tentang tanda-tanda munafik ya. (Hadis) ‘Ayat-ayat atau tanda-tanda munafik adalah 3’. (Ayat al-Quran). Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda, tanda-tanda munafik ada 3, ‘jika berbicara ia berbohong, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberi amanah ia berkhianat’. Ayat ini atau hadis ini mengingatkan bahawa tanda-tanda munafik dan kita perlulah berhati-hati kerana jika tidak berhati-hati dan meluaskan istilah ini, maka ia akan memberi bencana kepada kita semua. Adakah golongan graduan PTPTN apabila dia tidak menunaikan janji maka mereka adalah golongan munafik? Adakah peminjam bank apabila ia tidak mengembalikan duit mengikut tempohnya adakah mereka golongan munafik? Jadi istilah munafik perlu digunakan mengikut istilah yang sebaiknya dan ambillah pengajaran dari apa yang telah berlaku di zaman Nabi SAW. Gejala-gejala melampau atau gejala-gejala berlebihan, di dalam pegangan ini perlu kita ingat. Seorang pemimpin politik pada tahun 1981 telah mengeluarkan amanah yang memberi kesan yang banyak kepada umat Islam. Saya petik sebahagiannya, ucapan ” Saudara-saudara sekalian, percayalah kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO, kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah”.
Macam biasa aje dengar.
Mungkin Tuan Speaker lagi arif dalam perkara ni ya. “ Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad, bergantung kita bergantunglah kita kepada Allah dengan menghadapi puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid, mati kita adalah Islam” ya. So, isu-isu perkara ini perlu lihat secara baik supaya kita perlu menjadi umat pertengahan, tidak melampau ya. Kita tidak mahu lagi berlaku peristiwa-peristiwa dua imam, nikah yang tidak sah dan sebagainya. Cukup apa yang telah berlaku yang lepas, diambil pengajaran. Kita bangsa Johor merasa bangga walaupun dengan pelbagai latar belakang, warga Johor dapat hidup dalam aman damai. Usahlah kita bangkitkan isu-isu melampau, yang boleh mengganggu gugat keharmonian antara kita. Kemelah ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Dewan, kerana menjadi contoh dalam melaksana rukun kelima, Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan. Hari malam lampu gelap gelita. Hari malam gelap gelita, pasang lampu jalan ke taman, sopan santun budaya kita, jadi kebanggaan zaman berzaman. Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir sekali Kemelah ingin membangkitkan berapa isu tempatan walaupun tidak disebut di dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Kemelah yakin bahawa wilayah-wilayah yang ingin dibangunkan wilayah tengah, wilayah utara tidak akan dilupakan seperti mana yang disebutkan dalam Belanjawan 2019. Walau bagaimanapun, Kemelah ingin membangkitkan beberapa isu tempatan yang penting untuk membangun kawasan-kawasan khususnya daerah Segamat. Antara isu yang terpanggil untuk dibangkitkan di dalam Dewan ini adalah berkaitan dengan isu infrastruktur di Segamat Segamat Inland Port (SIP) ataupun Pelabuhan Darat Segamat yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri, walaupun Kemelah dan juga warga daerah Segamat dimaklumkan bahawa TNB akan membina PMU mereka dan akan siap pada tahun 2021. Tapi malangnya di dalam pembentangan oleh pihak syarikat TNB baru-baru ini, dimaklumkan bahawa hanya 2022 akan siap. Isu yang ingin Kemelah bangkitkan ialah isu pelabur sedang menunggu supaya infrastruktur ini dapat disiapkan dan harapan daripada Kemelah sendiri dan juga daripada warga Segamat, daerah Segamat, agar pemantauan dapat dilaksanakan, dapat dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap syarikat TNB yang menjanjikan untuk memberi penyelesaian sementara supaya pelabur-pelabur dapat datang untuk melabur membuka industri mereka di pelabuhan darat Segamat. Begitu juga dengan isu Agro Mix Farm dengan izin, yang sedang dilaksanakan tapi perlu dikembangkan di daerah Segamat memerlukan penambahan untuk infrastruktur bekalan elektrik. Kemelah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya melaksana penubuhan Agro Vet. Sebagaimana yang telah disebut dalam Belanjawan Johor 2019, ini akan banyak membantu usaha memantapkan industri penternakan di daerah Segamat. Kemelah mengharapkan agar usaha yang baik ini dapat diteruskan dengan penubuhan sebuah pusat pengumpulan usahawan IKS yang rata-rata usahawan IKS masih lagi berniaga di kawasan yang agak terpencil dan di pendalaman. Yang Berhormat Tuan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan sekali lagi berbanyak terima kasih kepada Tuan Speaker kerana mengizinkan Kemelah untuk membahas Belanjawan Johor 2020 dan Kemelah sekali lagi mendoakan supaya kita akan terus makmur, Johor akan terus makmur dan berkembang dengan baik. Dan, akhir sekali, Kemelah dengan ini mohon mencadang Belanjawan Johor 2020 diterima. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Kemelah. Seterusnya saya persilakan Tenggaroh.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, salam sejahtera dan salam Muafakat Johor. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan saya ruang berbahas atas rundingan
bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 Tahun 2019. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya meneruskan perbahasan, ingin saya terlebih dahulu merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertua Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Darul Ta’zim pada 22 November yang lepas. Yang Berhormat Tuan Speaker, Bajet 2020 yang bertemakan “Memakmur dan Mensejahtera, Johor Bestari” mempunyai 183 titik fokus dan satu bajet yang panjang. Tahniah juga diucapkan kerana ia adalah satu bajet surplus. Walaupun bajet dia surplus, saya hairan kerana semasa saya dipilih sebagai Wakil Rakyat mewakili kawasan Tenggaroh dari 2013 hingga 2018 yang masa itu ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional, masa itu pun bajet dia surplus juga, lingkungan surplus dia antara RM1 juta hingga RM2 juta setiap kali. Tapi, kali ini cukai dinaikkan dan hasil daripada kenaikan cukai tersebut adalah lebih kurang RM233 juta dan bajetnya surplus hanya RM2.36 juta. Saya tahu masa kerajaan Barisan Nasional 2013 hingga 2018 banyak pembangunan, banyak program-program untuk rakyat dan sekarang dengan penambahan hasil dan melalui cukai, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah berjanji untuk membuat banyak program pembangunan tapi sebagai contoh apa yang dinaikkan oleh Yang Berhormat Kahang dari tahun 2018 masyarakat India dah dapat lebih kurang RM8 juta dan bantuan dari segi training ada lebih kurang RM1.5 juta iaitu lebih kurang anggaran RM9.5 juta dan kenaikan bajet tahun ini pula, dengan hasil cukai dah meningkat sebanyak RM233 juta tapi bantuan untuk masyarakat India masih lagi RM3 juta. Dulu pun seperti YB Penggaram cakap, sekarang mereka nak fokuskan pada setiap rakyat semua orang tapi dulu pun benda yang sama. Masa YB Kahang sebagai EXCO Perpaduan banyak program untuk semua kaum. Tapi masyarakat India masih dapat lebih kurang RM8 juta. Sekarang, dengan kenaikan hasil tapi dah kurang.
Patutnya berapa?.
Sepatutnya dikekalkan RM8 juta, sekurang-kurangnya atau bagi lebih sebab hasil dah dapat lebih, RM233 juta yang ini yang rakyat akan menilai, yang ini yang rakyat menilai sampai ke Tanjung Piai. Itu yang rakyat akan menilai, bila penambahan hasil cukai dinaikkan. Adakah pembangunan ini sampai ke rakyat? Ini rakyat akan menilai dan kerajaan hari ini bila ada penambahan cukai, kita tak pertikaikan tapi duit penambahan itu kena sampai kepada rakyat. Dan, memang ada penambahan pembangunan sebanyak RM180 juta, tapi adakah dia sampai? So, saya bagi satu contoh untuk masyarakat India, ini ketara, ini yang rakyat akan menilai. RM3 juta, dulu RM8 juta sekarang dah naik cukai, RM3 juta lagi. Ini yang rakyat akan menilai. Bukan kita nak cakap dari segi perpaduan pun rakyat tak dapat, ini yang rakyat akan menilai. Ini sebagai satu advice dengan izin. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya nak menyambung dalam Bajet 2020 teras pertama agenda pertama Menangani Kos Sara Hidup. Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai insentif untuk menangani kos sara hidup dalam kalangan keluarga B40. Kalau kita tengok buku bajet banyak bantuan yang untuk keluarga B40. Macam mana pula untuk keadaan keluarga M40? Sebab apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Benut, situasi B40 dengan M40 di Johor ini lain, di Mersing lain, di Labis lain. Purchasing power untuk M40 di Johor mungkin tak sama dengan purchasing power dengan M40 di Labis atau Mersing. M40 di Johor mungkin dengan Mersing B40 sama, purchasing power dia. Dan, bantuan sekarang untuk menangani kos sara hidup, fokus pada B40, macam mana pula M40? Saya setuju dengan cadangan Yang Berhormat Benut, kerajaan negeri patut mengklasifikasikan balik B40 ini mengikut daerah, mengikut pendapatan dan mengikut cost of living, dengan izin, di setiap daerah baru kalau kita ada program-program untuk menangani kos sara hidup dia akan lebih efektif. Memang banyak program, tapi kalau tak efektif, rakyat tak menerima manfaat dia, ini yang saya katakan balik tadi, rakyat akan menilai. Ini rakyat akan mula menilai so bukan ini sebagai satu teguran sebab rakyat nak menilai. Ini lagi baik kalau kita ada banyak sekarang M40 kena bayar cukai lebih tinggi, tapi tak dapat banyak bantuan untuk menangani kos sara hidup. Ini rakyat akan mula menilai. Remaja-remaja yang baru
keluar kerja minimum payslip RM2005.00 hingga RM3000.00, bawah B40, dia bawah M40, tapi keadaan dia lain, purchasing power dekat Johor Bahru lain dengan purchasing power di Mersing, purchasing power di Johor Bahru lain dengan purchasing power di Labis atau di Pontian. Itu yang dikatakan so klasifikasi B40 ini penting. Dan, saya harap kerajaan negeri akan membuat klasifikasi balik untuk keluarga di kalangan B40 ini. Untuk diteruskan Yang Berhormat Tuan Speaker, saya akan teruskan dalam teras kedua, Memakmur Ekonomi. Kerajaan negeri berharap menyediakan sebanyak 1,200 peluang pekerjaan. Kita tadi jawapan EXCO dia ada lebih kurang 200,000 lebih peluang pekerjaan dan dalam bajet, dalam satu program kerajaan negeri Johor mengharap menyediakan lebih kurang 1,200 peluang pekerjaan. 200,000 peluang pekerjaan ada dekat Johor. Mungkin kita tengok job data kita ada 200,000 tapi adakah gaji yang diberikan itu setimpal? Kalau kita bayangkan banyak orang Malaysia yang kerja Singapore kerja dekat kilang sebagai contoh kerja dekat kilang kalau dia pergi kerja dekat kilang dengan over time dia boleh dapat lebih kurang SGD2000.00. Kalau bawa masuk ke Malaysia dah dekat RM6,000.00. Tak kan dia nak biarkan RM6,000.00 kerja dekat sini untuk RM2,000.00 ke RM3,000.00. Saya rasa kita pun tidak akan buat macam itu. Walaupun dia lebih senang, tapi itu keadaan dia, itu hakikat dia, so kalau kita nak sediakan peluang pekerjaan, gaji dia kena setimpal sebab dia punya currency exchange satu ketika, SGD1.00, duit kita RM3.00 pasal itu lebih banyak orang nak pergi Singapore nak kerja. So, bila kita sediakan peluang pekerjaan ini, dan kita nyatakan peluang pekerjaan yang ini yang kita kena jawab. Dan, bila Yang Berhormat Sungai Balang tadi tanya soalan, berapa banyak orang Singapore yang kerja di Singapore dah balik ke sini? Itu yang diharapkan. Bila gaji dia setimpal, kita akan dapat lebih banyak rakyat Malaysia yang kerja di Singapore balik ke Johor. So, itu penting. Bukan hanya ada sektor kita cakap kita ada 230,000 kerja atau 270,000 peluang pekerjaan tapi gaji dia tak setimpal. Ini yang rakyat akan menilai. Saya dari awal dah cakap, ini yang rakyat akan menilai. Bila kita buat bajet, ini yang rakyat akan menilai. Dan itu, kerajaan negeri patut menilai dalam bajet ini bukan kita hanya cakap 230,000 peluang pekerjaan ada di Johor. Tapi, gaji dia tak setimpal. Itu penting. Dan seterusnya, Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam Dewan yang mulia ini, saya juga nak sampaikan dalam Dewan yang mulia ini, ada empat orang yang mewakili daripada kaum India iaitu saya, Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Tiram dan juga Yang Berhormat Bekok. Saya dengan Yang Berhormat Kahang di sebelah pembangkang dan
Yang Berhormat Bekok dan Tiram di sebelah kerajaan.
Seimbang lah ya, dua-dua.
Dua-dua seimbang. Dulu bila kita kerajaan tak ada wakil dari pembangkang yang mewakili kaum India. Dan tapi sekarang, kalau Yang Berhormat Tuan Speaker tengok verbatim balik, saya dengan Yang Berhormat Kahang ini setiap kali kalau ucap untuk masyarakat India, kita tanya apa status, tapak khairat kematian masyarakat India, benda yang sama, lepas itu kita akan tanya pasal sekolah SJK (T) untuk bantuan sekolah, lepas itu kita akan tanya pasal peluang pekerjaan sebab dalam Bajet 2018 yang dibentangkan pada tahun 2017, ada dicakapkan pasal peluang pekerjaan nak ambil lima orang dalam PBT, sekurangnya setiap PBT, masyarakat India. Sebab masyarakat India ini suka kerja di kerajaan dan itu yang dibentangkan kepada Bajet 2017. Apa yang kita tanya ini bukan untuk baru, yang dah dibentangkan hanya harap dijalankan. Kalau keadaan dia berubah, kalau saya dengan Yang Berhormat Kahang berada di kerajaan dan Yang Berhormat Bekok dan Ulu Tiram berada sini, mereka pun akan buat yang sama, bukan untuk mileage politic tapi ini yang diharapkan oleh masyarakat India setiap dan saya dan Yang Berhormat Kahang setiap kali Sidang Dewan kita tanya benda yang sama. Apa status tapak khairat kematian masyarakat India? Macam mana dengan peluang pekerjaan masyarakat India di PBT-PBT yang telah ditentukan. Lepas itu, yang penggal lepas saya tanya pasal tiga sekolah SJK(T) yang telah siap dibina sampai sekarang satu tahun tak masuk-masuk lagi. Bukan kita nak, setiap kali kita nak cakap benda yang sama. Tuan Speaker pun dah rasa kadang-kadang dah bosan nak dengar benda yang sama saja kita ulang kan. Bukannya untuk politik tapi untuk masyarakat.
Saya pun tahu, dulu Yang Berhormat sana pun kecewa juga, benda ini tak dapat diselesaikan. Harap benda ini kerajaan dapat selesaikan. Hanya mereka tak dapat menyuara, kita menyuara di sini, tapi harap kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini sebab masalah ini dah berlarutan panjang. Bukan masa ini kita nak bersuara, setiap kali Dewan kita bersuara tapi tak ada hasilnya. Sebab benda ini kalau dari tengok penggal pertama Yang Berhormat Tuan Speaker jadi Speaker, dah banyak kali saya ulang, Yang Berhormat Kahang ulang tapi yang ini tengah berterusan. Jadi, saya berharap kerajaan ambil satu inisiatif bila tahun depan masalah ini dah selesai. Sebab ini masalah masyarakat India. Tapak khairat kematian tak ada di Johor Bahru ini. Sekarang kita tengah buat upacara kematian itu secara senyap-senyap di tempat yang illegal.
Kat Johor tak ada?
Tak ada.
Habis, di Johor di mana kalau urusan kematian?
Sekarang dia tengah buat tepi sungai dengan tak ada permit. So, kita tengah harapkan satu tapak di Johor tak ada. Itu yang menyedihkan. Sebab dulu dah lulus dah dapat bajet dekat Pasir Gudang, bajet pun dah diluluskan tapi diberhentikan. Kita harapkan itu isu masyarakat India, itu yang kita tengah mengharapkan. Ini yang rakyat akan menilai. Ini yang membuat rakyat bagi keputusan di Tanjung Piai, masyarakat India, bukan lain, bukan ceramah politik ke bukan apa, ini yang rakyat menilai. Ini yang rakyat menilai. So, saya harap dalam isu masyarakat India ini tak payah saya berulang-ulang lagi. Harap kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini. Itu yang saya harapkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ada baca dalam teks ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Bajet 2020 ini, ada cakap pasal penerbangan, laluan penerbangan yang baharu sebab yang sebelum ini, ada sebelas laluan penerbangan domestik dan tujuh laluan penerbangan antarabangsa dan kerajaan negeri dengan Tahun Melawat Johor nak buat lebih banyak laluan penerbangan. Memang satu idea yang bagus saya menyokong idea tersebut. Tapi kerisauan saya ialah laluan penerbangan yang sedia ada yang di dominasi oleh satu syarikat sahaja. Misal sebagai contoh saya bagi, laluan dari Johor Bahru ke Penang dan Penang ke Johor Bahru. Hanya ada 3 flight satu hari dan 1 airlines sahaja. Kalau kita tengok hujung minggu, harga tiket boleh sampai pergi balik, sampai RM1,000.00. Atau dari Penang nak balik, datang ke sini nak pergi balik atau masa pusing dah boleh sampai RM700.00 hingga RM1,000.00 untuk satu orang. Ini lebih tinggi kalau saya kadang-kadang dari KL nak pergi ke India. Itu nak RM500.00, RM600.00 Habis tahun melawat Johor, takkan satu keluarga dengan 5 orang nak datang dari Penang nak datang Johor naik kapal terbang, tiket sahaja dah boleh sampai dekat RM3,000.00 hingga RM5,000.00? Mana dia nak datang Johor untuk melawat Johor. Yang ini laluan-laluan kini yang penting, patut ada lagi lebih airlines. Ini akan menyenangkan rakyat. Sebab harga tiket terlalu tinggi. Bukan kita offer laluan penerbangan tapi harga tiket terlalu tinggi. Orang tak mampu. Satu orang dekat RM1,000.00. Kalau bayangkan, 5 orang dalam satu keluarga. Takkan harga tiket RM5,000.00 nak bayar? Nak datang cuti dalam negeri.
Saya biasa dari Penang mari sini baru RM120.00 aje.
Itu kalau off peak Yang Berhormat. Kalau peak time dia boleh sampai RM700.00, RM800.00 dekat RM1,000.00 pergi balik. Kalau macam biasa, hari ini saya key in untuk hujung minggu ini pun pergi balik dah sampai RM500.00. Itu yang penting. Satu airlines sahaja. Airlines lain dia kena transit di KL. So, benda ini laluan banyak bagus, tapi laluan yang utama ini yang frequent, harga dia pun kena jaga. Sebab kita nak bantu rakyat. Kita nak harapkan rakyat dapat dibantu sebab kalau Tahun Melawat Johor, harga nak datang ke Johor tinggi. Ramai tak nak datang. So, itu salah satu cadangan daripada saya agar kerajaan negeri dapat menilai balik, dapat
berunding dengan syarikat penerbangan, mungkin open lah lebih banyak syarikat penerbangan buat untuk route penerbangan yang demand dia tinggi. Itu harap saya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya ke mengakhiri ucapan, saya ada sedikit isu pasal isu kawasan juga yang saya ingin bawakan tapi sebelum saya bercakap pasal isu kawasan, saya nak ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Agama sebab dalam Dewan yang lepas dia cakap dia nak datang ke kawasan saya. Dia datang ke kawasan saya. Dalam 2 minggu dia dah sampai ke kawasan saya dan dia menjemput saya sekali ikut lawatan dia. (Dewan bertepuk).
Ini saya kena puji, apa yang betul, apa yang baik saya puji dan dia bawa saya dalam lawatan dia untuk melawat kawasan Tenggaroh, kawasan-kawasan FELDA di Tenggaroh. Terima kasih Yang Berhormat EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di kawasan saya macam apa yang dikatakan Yang Berhormat Endau. Jambatan Mersing ini ada masalah kesesakan dan bila tahun lepas mantan MB datang, dah mengumumkan akan menyelesaikan masalah kesesakan ini jambatan dan juga jalan pintas, bypass. Dan setiap kali kalau kita tengok, setiap kali saya letak dekat Facebook, gambar nak pergi Dewan atau Yang Berhormat Endau tengok, komen-komen dia, rakyat akan tanya. YB jangan lupa pasal masalah jambatan Mersing, jangan lupa pasal masalah jambatan Mersing. Dan bila Yang Amat Berhormat Menteri Besar dah umumkan tahun lepas, saya harapkan dalam bajet ini atau bajet persekutuan ada pasal jambatan Mersing. Tapi tidak diberitahu apa-apa pasal jambatan Mersing. So, saya harap benda ini lama berlaku dan saya pun tak tahu apa nak jawab pada rakyat dah. Bila mereka tanya YB, macam mana status jambatan Mersing? Saya pembangkang senang, kerajaan sekarang tak nak bantu. Boleh cakap tapi bayangkan Yang Berhormat Endau, kerajaan. Macam mana dia nak jawab? Itu situasi yang kadang-kadang Yang Berhormat susah juga. Tapi masalah jambatan Mersing ini penting, sebab dia jalan utama yang menghubungkan dari Johor Bahru ke Kuantan. Kalau jambatan itu runtuh, tak ada jalan alternatif. Jambatan itu dah lama. Dan kalau masuk hujung minggu dan musim perayaan, nak cross jambatan itu, kadang-kadang orang Mersing ambil lebih kurang 1 jam lebih. Itu masalah dia. Sebab satu sahaja jalan dia. Tak ada jalan bypass, tak ada jalan alternatif, jambatan itu pun dah lama. So, harap benda ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.
Dan bila cakap pasal isu kawasan Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga nak cakap mengenai lampu jalan. Baru-baru ini dalam ucapan EXCO Pelancongan pun dia cakap banyak aktiviti-aktiviti pelancongan yang akan berlaku di Mersing untuk Tahun Melawat Johor 2020. Saya ucapkan terima kasih dan kebanyakan pulau tapi lampu jalan ini dari simpang Tenggaroh ke Tanjung Leman, Tanjung Leman adalah salah satu jeti utama nak pergi ke pulau. Dan jalan dia kalau waktu malam, gelap. Memang tak safety dia tak baik. So, harapkan kerajaan dengan banyak bajet untuk lampu jalan harap dapat selesaikan masalah lampu jalan di kawasan dari persimpangan Tenggaroh ke Tanjung Leman. Dan sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya juga ingin bawa balik apa yang YB Penggaram tadi cakap, dia cakap dia cakap YB Benut, ucapan dia baik. perkataan yang digunakan baik dan diharap dapat bagi advice pada Yang Berhormat Layang-Layang tapi saya pun nak tanya satu juga. Saya harap YB Penggaram pun boleh advice pada pemimpin tertinggi PH, sebab dalam satu program saya dengar ucapan dia dekat Facebook dia panggil masyarakat India dengan masyarakat Cina sebagai pendatang asing. Saya harap dia boleh advice jangan gunakan perkataan macam itu. Sebab saya, setahu saya, saya ada IC, saya warganegara Malaysia. Saya bukan pendatang asing. Dan kebanyakan YB-YB ini bukan pendatang asing juga. So, saya harap dia pun boleh advice pada pemimpin tertinggi PH tersebut. So, saya akhiri ucapan saya dengan peringatan pada kerajaan, rakyat akan menilai dan itulah kita katakan salam 15,086. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih kepada Tenggaroh. Sekarang 12.48, kalau saya beri kepada Parit Raja, saya rasa takut mengganggu ucapan dia kena ada azan, apa lagi. Jadi saya kira biarlah Pasir Raja ambil, Parit Raja nanti ambil sebelah petang. Jadi saya tangguh perbahasan sampai waktu ini dan kita berjumpa pada 2.30 petang ini. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.50 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Yang Berhormat Parit Raja, jemput.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Muafakat Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu Parit Raja mengambil kesempatan merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucapan selamat ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena hari keputeraan baginda pada 22 November 2019 yang lalu. Patik serta warga Parit Raja sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan, dirahmati dan diberkati usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan Belanjawan Johor bagi tahun 2020. Izinkan Parit Raja mulakan dengan serangkap pantun. Ku sangka nanas atas permatang, rupanya durian tajam berduri, ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019 - 2030 yang dinanti-nantikan oleh rakyat Johor telah dilancarkan pada 18 Ogos 2018, namun sehingga kini masih lagi dalam peringkat akhir penyediaan dan sehingga hari ini masih belum ada apa-apa hasil atau hala tuju dari kerajaan Pakatan Harapan. Persoalannya, adakah kerajaan Pakatan Harapan benar-benar serius melakar hala tuju negeri Johor melalui pelan pembangunan ataupun hanya sekadar khayalan mahupun retorik politik sahaja?
Yang Berhormat Puan Speaker, enak dimakan si buah betik, pengat ubi pun sedap juga, Belanjawan Johor 2020, belanjawan kosmetik, rakyat merintih bimbang tak terbela.
Pengumuman belanjawan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor buat julung kalinya tiada usaha yang serius membantu golongan peladang, kelapa sawit dan juga penoreh getah. Kita dapat lihat pada hari ini harga minyak sawit semakin menurun. Sayangi sawit, minum sesudu. Harga komoditi getah pun semakin menurun. Janganlah kita buat tak tahu. Bukan itu sahaja Yang Berhormat Puan Speaker, apa yang lebih menyedihkan ialah apakah usaha dan pelan strategik kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan? Janji kerajaan Pakatan Harapan sebelum menawan Putrajaya untuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan, berapa dan di manakah limpahannya untuk rakyat di Johor? Dan berapakah peluang pekerjaan yang telah disediakan pada tahun 2019 ini. Mungkin agaknya di negeri Johor telah menyumbang jumlah angka yang besar memandangkan Johor adalah negeri yang berprestasi tinggi.
Jadi Yang Berhormat Puan Speaker, saya nak minta penjelasan daripada kerajaan negeri terutama EXCO Pelancongan. Adakah benar taman tema Sanrio Hello Kitty Town dan Thomas Town yang terletak di Puteri Harbour Iskandar Puteri akan ditutup hujung tahun ini? Kalau dengan alasan kurang mendapat sambutan, apakah kerajaan negeri telah pun cuba mengambil langkah-langkah dan inisiatif untuk membantu mempromosi terutamanya tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Negeri Johor. Benarkah kenyataan yang dikeluarkan di Metro pada 05 Oktober 2019 yang menyebut bahawa kerajaan negeri tidak bergantung kepada satu pihak ataupun produk pelancongan sahaja, maka mengambil keputusan untuk menutup 2 taman tema yang tersebut?
Saya ada merujuk kepada Belanjawan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam titik sentuhan perenggan 155, memajukan sektor pelancongan. Kerajaan mensasarkan tahun 2020 adalah dijangka 8.4 juta pelancong yang akan bermalam
daripada keseluruhan 18.4 juta orang pelawat ke negeri Johor. Dan cukai pelancongan di negeri Johor merupakan negeri yang keempat tertinggi selepas Sabah, Pulau Pinang dan Selangor. Maka dengan itu, sedarkah pihak kerajaan, penutupan taman tema tersebut akan mengorbankan lagi pekerja-pekerja yang terpaksa berhenti dengan segala kemahiran dan kursus yang telah diambil? Akhirnya, di bawah kerajaan Pakatan Harapan mengambil jalan mudah iaitu tutup sahaja taman tema tersebut. Parit Raja merasakan sepatutnya kerajaan Pakatan Harapan memikirkan bagaimana nak menarik pelabur untuk melabur di negeri Johor tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dibimbangi dengan pengisytiharan penutupan tersebut, pelabur-pelabur semakin takut nak datang ke negeri Johor. Jadi di mana kata nak tambah peluang pekerjaan. Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, keadaan ekonomi yang seram sejuk, apakah peluang pekerjaan baharu yang sesuai dengan kemahiran mereka? Ini menunjukkan yang hala tuju kerajaan Pakatan Harapan tidak jelas dan tidak serius berkaitan menyediakan peluang pekerjaan kepada khususnya golongan belia. Rakyat mengharapkan peluang pekerjaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, tumbuh bagai cendawan selepas hujan tetapi rupanya bagai pelita kehabisan minyak.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja ingin mengucapkan terima kasih kepada pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang sedang meneliti untuk menaik taraf MARSAH kepada Kolej Universiti Islam Johor. Di sini Parit Raja ingin mendapatkan kepastian, adakah hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Universiti Johor pada tahun 2019 yang lalu akan diteruskan? Ini kerana dalam Belanjawan Negeri Johor Tahun 2019, titik fokus perenggan 169, ada menyebut peruntukan sebanyak RM500,000.00 telah di peruntukkan untuk menjalankan kajian penubuhan Universiti Johor. Jadi pada hari ini apakah hasil daripada kajian nak menubuhkan Universiti Johor tersebut. Jadi ataupun tidak? Maka persoalannya di sini, adakah hasrat kerajaan negeri ingin menubuhkan Universiti Johor akan diteruskan atau sekadar MARSAH ini dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Johor sahaja.
Malah untuk makluman Yang Berhormat Puan Speaker dan sidang Dewan, apabila saya meneliti semula bajet negeri Johor tahun 2018 yang telah diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu pada 27 November 2017, Titik Sentuhan Perenggan 233 ada menyebut, ‘Adalah untuk melaksanakan usaha-usaha memenuhi kriteria yang diperlukan bagi menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) kepada sebuah Kolej Universiti menjelang tahun 2019 yang dijangka berupaya menempatkan pengajian kira-kira 10,000 pelajar’. Jadi, rupa-rupanya usaha ini pun, idea daripada kerajaan Barisan Nasional yang mungkin akhirnya kerajaan Pakatan Harapan datang untuk potong reben merasmikan. Walau bagaimanapun, kita ucap tahniahlah untuk, demi untuk rakyat.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga ingin menyentuh berkaitan belanjawan dalam bidang pendidikan yang mana setelah diteliti, Parit Raja mendapati Biasiswa Sultan Ibrahim tahun 2020 diperuntukkan sebanyak RM300,000.00 berbanding tahun 2018 sebanyak RM500,000.00. Jadi diharap kerajaan negeri mungkin boleh mempertimbangkan dan Tabung Latihan Kemahiran, ini juga satu yang sangat penting kerana sewaktu kerajaan Barisan Nasional memperuntukkan sebanyak RM5 juta berbanding tahun 2020 hanya RM700,000.00 sahaja. Sedangkan Tabung Latihan Kemahiran Johor ni adalah satu tabung khas yang telah diilhamkan bagi memperuntukkan masa hadapan belia di negeri Johor itu sendiri.
Dan saya, Parit Raja juga berharap Program e-Learning kepada kawasan di bandar yang telah diperuntukkan sebanyak RM200,000.00, kita berharap dapat diperluaskan di kawasan luar bandar kerana anak-anak di kawasan luar bandar juga sangat memerlukan kepada peruntukan yang tersebut. Begitu juga dengan program Tuisyen YPJ yang dulu tahun 2018 diperuntukkan RM500,000.00 tetapi tahun 2020 ni saya tengok ada menurun iaitu kepada RM300,000.00. Jadi tuisyen kepada anak-anak dan seminar peperiksaan ini pun adalah sangat penting ya demi masa depan rakyat dan negeri Johor sendiri.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga mohon kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula RM500,000.00 bagi program penambahbaikan infrastruktur melibatkan sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan agar dapat ditambah memandangkan kemudahan harian yang mempunyai keperluan mendesak seperti penambahbaikan musolla, tempat belajar ya, baik pulih tandas dan baik pulih pagar serta lain-lain. Selain itu juga Parit Raja berharap kerajaan dapat meneliti semula sekolah-sekolah rendah, sekolah-sekolah yang masih belum mempunyai dewan terbuka kerana kita lihat pada hari ini keperluan dewan terbuka di sekolah-sekolah adalah amat mendesak, amat diperlukan kerana pada hari ini dewan terbuka juga digunakan sebagai tempat untuk mengadakan aktiviti selain perhimpunan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja ingin mohon kepastian terhadap penularan kenyataan yang menyebut pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar tingkatan 4 sekolah berasrama penuh. Adakah ini benar atau sebaliknya? Walau bagaimanapun, aliran sains dan sastera ini masih diteruskan di sekolah persendirian Cina. Parit Raja faham ini isu di peringkat nasional, tetapi Parit Raja merasakan di Dewan yang mulia inilah untuk kita membahaskan. Persoalannya jika benar kenyataan tersebut:
1. Apakah pendirian kerajaan negeri? 2. Apakah implikasi kepada pemansuhan aliran sains dan sastera tersebut telah diteliti dan dikaji? 3. Apakah, adakah sekolah jenis kebangsaan Cina akan turut sama mengikut dasar KPM ini? 4. Berapakah jumlah keperluan kerja yang memerlukan aliran sains seperti doktor, ahli geologi, arkitek dan jurutera di Malaysia telah mencukupi dan adakah benar Malaysia kekurangan ahli geologi yang serius dan adakah dasar ini memberi kesan buruk kepada tenaga kerja di Malaysia pada masa akan datang?
Parit Raja sedar banyak lagi isu-isu peringkat pendidikan, mungkin di antaranya adakah negeri Johor mengalami masalah kekurangan guru yang serius dan apakah langkah-langkah yang diambil dan dicadangkan? Selain itu, Parit Raja juga ingin mendapatkan kepastian berkaitan apakah pendirian kerajaan negeri Johor tentang pengedaran komik propaganda yang dimaklumkan telah sampai ke negeri Johor melalui pos di sekolah-sekolah, melalui sistem pos ya terus dipos ke sekolah-sekolah. Antaranya di Segamat, ada 21 naskhah komik propaganda, Pasir Gudang 33, Mersing 4, Kulai 1, Tangkak 5, Muar 24, Kota Tinggi 18, Pontian 15, Johor Bahru 15. Parit Raja mengucapkan terima kasih di atas tindakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri yang telah mengambil langkah yang drastik, namun di peringkat negeri Johor, kerajaan negeri mesti menyatakan pendirian supaya perkara ini tidak berulang lagi dan kita mahu tahu apakah tujuan pengedaran komik tersebut di sekolah-sekolah, adakah untuk mendoktrin secara halus, adakah untuk mendoktrin dari usia muda atau lain-lain tujuan? Kita berharap perkara ini tidak berulang lagi dan Parit Raja berharap kerajaan negeri dapat memberi satu jaminan yang serius terhadap perkara ini.
Seterusnya Parit Raja ingin mendapatkan juga kepastian berkaitan pendirian kerajaan negeri Johor iaitu penganjuran Debat Piala Tun Razak tahun 2019 kerana pada Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 yang lalu terdapat pemilihan tajuk debat yang langsung tidak memberi sebarang pertimbangan menjaga sensitiviti beragama Islam di Malaysia. Untuk makluman Yang Berhormat Puan Speaker, tajuk dalam pertandingan debat itu ialah Islam Tidak Menghalang Homoseksual yang mana amat bertentangan dengan ajaran agama Islam dan saya amat yakin dan pasti begitu jugalah dengan ajaran dan kefahaman lain-lain. Tidak ada amalan homoseksual ini dibenarkan dalam apa-apa jua agama. Dalam pertandingan tersebut, pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang terpaksa menarik diri daripada pertandingan tersebut kerana adalah berbentuk satu penindasan dalam kebebasan agama untuk memaksa anak-anak ini berdebat ajaran liberalisme melampau telah meracuni sistem pendidikan kita. Maka, perkara ini Parit Raja melihat adalah amat serius dan Parit Raja mohon kenyataan daripada kerajaan negeri supaya Johor sebagai negeri yang berprestasi tinggi ya amat memandang serius berkaitan apa juga isu-isu berkaitan dengan pendidikan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Jabatan Alam Sekitar di atas penguatkuasaan ke atas punca-punca industri di Pasir Gudang terutamanya industri berasaskan kimia iaitu terdapat 266 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis-premis industri, 146 kompaun, 61 notis arahan dan 13 perintah tahanan operasi telah dikeluarkan. Parit Raja berharap janganlah selepas bencana terus kita senyap dan sunyi tetapi tahniah dan syabas Jabatan Alam Sekitar telah mengambil satu tindakan yang amat tepat kerana Parit Raja amat bimbang persekitaran yang tidak sihat akan mengganggu anak-anak dan warga guru untuk menjalankan aktiviti persekolahan.
Seterusnya Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga ingin mengemukakan usul berkaitan isu tempatan iaitu tadi ada soalan daripada YB Yong Peng berkaitan kenaikan elaun Ahli Majlis Daerah Yong Peng. Saya berharap dengan kenaikan elaun Ahli Majlis Daerah-Daerah yang mungkin akan diluluskan nanti, saya berharap Ahli Majlis dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan lebih komited bukan apa, di Parit Raja kini menjadi tempat sumber meraih pendapatan dan rezeki. Ada peniaga datang daripada Parit Yaani, daripada Batu Pahat, daripada Senggarang, Semerah dan Yong Peng juga ya tetapi baru-baru ini terdapat gerai-gerai di kawasan Parit Raja yang telah diangkut oleh lori Majlis. Jadi saya berharap, saya bersetuju dengan ucapan oleh Yang Berhormat Puan Speaker tadi iaitu peniaga-peniaga ni tadi kenalah ya sama ada pernah tak dipanggil seminar, penerangan, kursus supaya dia dididik bagaimana, supaya mereka tidak melanggar kepada peraturan dan mereka ini ya bukan minta sedekah, mereka berniaga tapi apalah perasaan mereka bila diangkut dia punya apa nama gerai-gerai, stall stall ni. Saya minta ya perhatian daripada kerajaan negeri.
Selain itu, saya juga nak menyebutlah berkaitan gejala vape yang menular di kalangan pelajar ya yang telah dikemukakan soalan oleh YB ADUN Mahkota. Gejala vape ni semakin menular walaupun YB EXCO Pendidikan dah jawab hanya 757 orang sahaja pelajar yang terlibat, tetapi di situ ada mewujudkan ada, bila ada ya, kita bimbang dia akan berkembang bilangan itu dari masa ke semasa. Jadi kita berharapkan sama ada kerajaan negeri bercadang untuk mengambil langkah-langkah merangka peraturan baharu ataupun peraturan disiplin yang khas ya bagi pelajar-pelajar ini supaya dapat dibendung gejala vape yang semakin menular ni, kita tengok untuk anak-anak adalah sangat tidak sihat ya.
Seterusnya Yang Berhormat Puan Speaker, Parit Raja juga ingin mengemukakan isu tempatan...
Masa sudah tamat. Saya bagi satu minit lagi ya.
Asam kandis mari dihiris, manis sekali rasa isinya, dilihat manis dipandang manis, lebih manis hati budinya. Saya mohon tambah sikit lagi masa. Parit Raja ingin mengemukakan isu tempatan berkaitan Klinik Kesihatan Parit Raja yang kini telah menjadi tumpuan berikutan wujudnya taman-taman perumahan baharu yang dirasakan kemampuan Klinik Kesihatan Parit Raja ya untuk menampung dan memberikan perkhidmatan yang terbaik adalah agak terbatas. Oleh yang demikian, berdasarkan senario semasa kemampuan warga klinik dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik adalah sangat-sangat terbatas kerana dianggarkan purata kehadiran klinik mencecah angka 7,000 pesakit setiap bulan. Memandangkan Parit Raja ini dulu kampung dah jadi pekan malah kalau tengok macam dah jadi bandar pula ya. Jadi Parit Raja berharapkan supaya dapatlah dilihat dan diberikan perhatian supaya pihak kerajaan dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh masyarakat khususnya juga di Parit Raja, saya berharap tidak ketinggalan ya. Jadi dengan itu, saya ucap banyak-banyak terima kasih, sebelum berakhir, saya ingin berikan satu pantun, Tanjung Piai hujung benua, nelayan berkumpul di tepi jeti, mandat diberi tugas dilaksana, tanggungjawab mesti ditunai janji mesti ditepati. (Dewan bertepuk). Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Parit Raja. Yang Berhormat Senai jemput.
Selamat petang dan salam harapan. Terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi peluang untuk berucap bahas di Dewan yang mulia ini. Dan, Senai juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana membentangkan Belanjawan 2020 dengan tema “Memakmurkan dan Mensejahterakan Johor Bestari”.
Belanjawan ini menjaga keseluruhan lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa. Tapi, sebelah sana banyak kawasan pembangkang dapat projek-projek dia kata ni, apa ni belanjawan yang kecewa. Saya lagi kecewa. Saya sudah semak kat belanjawan ni memang tak ada apa-apa berlaku di kawasan Senai. So, rasalah eh, nasib kat sebelah sana, bersyukurlah eh, sekiranya kita bentangkan belanjawan yang lebih adil dan lebih terbuka. (Dewan bertepuk).
Senai juga melihat belanjawan ini memberikan faedah kepada sektor pendidikan, pengangkutan, alam sekitar, kesihatan yang memberikan manfaat kepada rakyat negeri Johor. Senai ingin memberikan beberapa pandangan dan cadangan berkaitan Belanjawan 2020. Kita sedia maklum bahawa tahun 2020 adalah Tahun Melawat Johor. Nampaknya dalam pembentangan bajet kali ini menyentuh isu bagi menggalakkan pelancongan desa. Di antara adalah homestay, kampung-stay dan juga agro-stay. Senai ingin ambil tahu bagaimana kerajaan negeri Johor mengiktirafkan jenis-jenis penginapan seperti yang disebut di atas. Di kawasan Senai kita mudah mencari homestay melalui aplikasi-aplikasi online seperti Airbnb, Booking.com dan sebagainya. Bagaimana kita sebagai kerajaan ingin mengutip cukai melalui sekira peniaga-peniaga homestay jika mereka tidak berdaftar. Tak kira cukai pelancongan ke, income tax ke, macam-macam tax kita akan lepaskan tax-tax tersebut.
Senai dimaklumkan memang terdapat banyak usahawan yang terlibat mengusahakan homestay. Tetapi, kebanyakan kawasan tidak sesuai kerana terletak di kawasan perumahan. Bagaimanakah homestay tersebut dapat menjaminkan keselamatan pelancong jika homestay tersebut di lokasi terletak di kawasan perumahan? Kemungkinan besar mengganggu kesejahteraan penduduk setempat. Senai ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor agar mengadakan satu garis panduan atau kursus kepada pihak terbabit supaya kita dapat mengeluarkan permit atau pengesahan homestay tersebut dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kita ingin menggalakkan pelancongan desa tetapi ada kala kita menghadap dengan kesukaran untuk membawa pelancong secara kelompok kecil untuk ke lokasi pelancongan. Seperti ketika Senai berkempen di Tanjung Piai baru-baru ini, terdapat ramai usahawan yang mengusahakan pelancongan desa, menyuarakan kesukaran mereka untuk membawa pelancong ke kawasan inap mereka kerana tiada permit khas ini menyebabkan adakala mereka ditahan oleh pihak berkuasa. Adakah kita boleh menyediakan permit khas untuk pengangkutan bagi memudahkan pihak usahawan membawa pelancong ke kawasan inap desa tersebut? Saya ambil contoh, sekira kita pernah pergi Bali kita boleh booking kan online. Dia secara pengesahan. Dia disah oleh kerajaan tempatan tersebut. Kita pergi Bangkok, Thailand pun ada servis yang sama. Kita pergi Taiwan kita pun boleh booking. Tetapi dekat Johor sini nampaknya kebanyakan Singaporean dia ingin nak masuk, dia secara kelompok takkan dia sewa bas. Dia 4-5 orang. So, saya galakkan, menyerukan kerajaan-kerajaan, barisan-barisan EXCO menerima cadangan saya, memberikan kursus supaya kita ada permit khas untuk menggerakkan. Kalau boleh setiap daerah kita lantikkanlah, keluarkan 10 permit pengangkutan awam secara kelompok khas untuk yang membawa, menggalakkan pelancongan desa dan juga homestay. Kalau boleh setiap daerah, di seluruh Johor, setiap daerah kita bagi 50 atau 100. So, kita brand kan ia sebagai imej baru untuk menggalakkan pelancongan desa.
Suka untuk Senai maklumkan bahawa seperti kita tahu negeri Johor telah menubuhkan Majlis Rendah Karbon pada pertengahan tahun yang lalu. Dalam bajet ini juga, Yang Amat Berhormat membentangkan cadangan berkenaan melestarikan alam sekitar. Senai juga
ingin mencadang kerajaan Johor untuk mengambil peluang ini dalam mendidik masyarakat dan pelancongan asing bahawa negeri Johor sememangnya negeri yang mementingkan kehijauan, alam sekitar dan rendah karbon.
Memandangkan tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Negeri Johor, kita boleh mulakan menitik awal melalui hotel-hotel. Sebagai Senai ambil contoh, hotel yang di sekitar Dewan yang mulia ini, kan ada ramai hotel, banyak hotel-hotel dia provide kan servis shuttle bus pergi Legoland, pergi Aeon, Bukit Indah. Kalau kita boleh dapatkan gabungkan semua hotel melalui shuttle bus yang sama. So, dia akan, hotel-hotel akan mengurangkan kos petrol dan pada masa yang sama akan mengurangkan hasil karbon di sekeliling kawasan sini. Dan juga saya cadangkan kat Tahun Melawat 2020, hotel-hotel ni tidak memberikan, membekalkan air mineral lagi. Dia ganti dengan water dispenser (mesin air). Kalau nampak kat negara, nampak kat China, negara China, I melawat China tahun lepas, so tak kira you rate berapa star, sekarang you pergi melawat ke China, dia tak akan bekalkan berus gigi, bahan-bahan mandi dan air mineral lagi. Sekiranya you tanpa permintaan. Sekiranya you minta dia akan bagi. So, kalau Johor boleh ikut kita menunjuklah, imej yang lebih negeri yang lebih hijau.
Selain itu, ketika pilihan raya kecil di Tanjung Piai, saya nak menyentuh sikit kat bahan kempen. Tak kira pihak PH ke, pihak BN ke, tak kira. Nampaknya memang banyak sangat bendera-bendera, billboard, banner, bunting, risalah, macam-macam bahan cetak kita edarkan. Adakah itu betul ke? Pernah tak kita fikir yang bahan-bahan ni dia gunakan dalam masa kempen sahaja. Dalam 14 hari, atau 21 hari atau lebih daripada 14 hari, so bahan-bahan cetak tu kita belanja wang yang agak besar, pakai kanvas dan plastik. Tetapi kegunaan dia untuk 14 hari sahaja. So, saya ingin cadangkan kepada SPR atau PBT dan sekiranya pilihan raya tak kira PRK ke PRU yang akan datang, setiap PBT saya cadangkan, setiap PBT saya cadangkan setiap PBT kita limit kan bahan-bahan cetak tak kira bendera, bunting ke billboard. Kalau boleh setiap PBT pilih tempat strategi untuk menaikkan billboard setiap parti dengan saiz yang sama. Apa you punya manifesto, apa you punya cara, memperkenalkan calon ke? Macam mana, kita pun dekat tempat yang sama. Ini menyenangkan kerja SPR juga. Nampak kat PRK ini kadang kala kita jumpa yang banner keluarkan kenyataan yang provokasi. Kita report pada SPR. SPR pun susah nak siasat siapa yang pasang. Tak kira sebelah sana pasang sendiri ke, sebelah sini yang pasang. Kita susah. Buang banyak apa ni, sumber manusia, man power untuk buat siasatan. Pihak polis pun susah nak buat siasatan. Sekiranya kita ada satu tempat eh, tetap dengan saiz yang sama, adil dengan yang sama, limit kan so kita cetak saiz yang sama lepas tu keluarkan manifesto sendiri, apa sasaran yang kita nak capai, so, itulah baru adil dan nampaknya kempen macam ni lebih kemas.
Dan juga saya kat Tanjung Piai juga nampak eh, beberapa billboard dah jatuh, bendera jatuh akibat mungkin hujan dengan angin yang kuat. Ini juga akan membahayakan pengguna jalan raya. So, saya harap kerajaan Johor boleh mempertimbangkan cadangan Senai.
Puan Speaker, seperti yang dimaklum oleh YB Skudai, pihak kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk membina satu sistem e-khidmat atau e-PBT. Kita sudah membelanjakan satu amaun yang amat besar tetapi rakyat masih tidak maklum berkenaan sistem tersebut. Senai melihat kegunaan publisiti menjadi punca sistem ini tidak dikenali oleh pengguna di kalangan rakyat amat rendah. Senai cadang kita boleh menaikkan publisiti melalui seperti media sosial, surat khabar mahupun Ahli-Ahli Majlis mewar-warkan kewujudan sistem tersebut.
Senai juga setuju dengan YB Sri Medan. Semalam YB Sri Medan mengatakan bahawa Johor kat sini memang banyak kilang-kilang yang haram masih dioperasi. Tak kira dia selepas pilihan raya baharu buka, niaga-niaga ke sebelum pilihan raya. Apakah tindakan kerajaan sekarang ambil? Adakah kita akan menghapuskan semua atau kita memutihkan semua, ke kita biar aje macam sistem dulu? Kita biar aje sampai bila-bila. Saya nampak sekarang kat, i ada dapat statistik sebanyak 366.8 hektar kilang haram di Batu Pahat, 196
hektar di Johor Bahru dan 178 hektar di Kluang. Kebanyakan kilang haram ni didirikan atas tanah bukan untuk perindustrian. So, dari dua pihak. Sebelah sana pulak, i kat Saleng juga ada tapi saya tak ada apa ni, statistik menunjukkan berapa kilang haram kat sana. So, adakah kerajaan ingin memutihkan kilang-kilang tersebut, kita keluarkan (KMT) Kebenaran Merancang Terhad untuk 3 tahun untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut tak kira you tak ada apa ni, ubah syarat ada masalah ke, lesen ada masalah ke, ulasan-ulasan dari jabatan tak kira macam mana. So, kita bagi memutihkan tempoh masa 3 tahun untuk mengatasi masalah-masalah peniaga-peniaga kilang tersebut. So, secara langsung ke tidak langsung, sekiranya dia masuk KMT kita boleh dapat hasil juga. Kita boleh kutip premium atau cukai-cukai lain tengah semasa dia membuat ubah syarat. Ini juga menunjuk bahawa kita friendly kepada syarikat-syarikat pelaburan. So, meningkatkan keyakinan pelaburan asing supaya lebih pelaburan melabur di kawasan negeri Johor.
Dan, saya ingin ambil kesempatan ini untuk sedikit pandangan. Ya, YB Kempas eh, memang dia ada keluarkan kenyataan kata bahawa ada sesebahagian penjawat awam tidak kerjasama dengan kerajaan PH. Tidak maksudnya kita menyalahkan semua penjawat awam di Dewan yang mulia ini. Tak kira di dalam Dewan atau di luar Dewan. Ambil contoh, saya juga ambil kesempatan ni, saya nak puji sikit I punya YDP, ada eh. YDP Kulai selalu berikan idea-idea bantuan dengan saya. Kita boleh kerjasama. Saya boleh turun padang bersama JPS, saya bincang-bincang sekolah isu Tamil dengan apa ni PPD. Kita kerjasama tak ada masalah, jangan nak tuduh kata bahawa PH memang menyalahkan semua kakitangan kerajaan atau penjawat awam. So, ini tuduhan. Saya haraplah eh janganlah bentang lagi selepas ini. So, dan juga saya ingin menyentuh sedikit, sekejap. Ha, dekat Senai-Kulai bypass, berapa kali i dah bentang di Dewan yang mulia ni, tak payah lebar dan panjanglah. Saya harap EXCO-EXCO boleh pertimbangkan cadangan. Memang dia Senai-Kulai bypass ini projek ini memang diletak dalam RMK-9 sudah ditangguh melebih 14 tahun. Bila akan start kaji semula projek-projek tersebut, yang dari YB pun ada sebut eh bencana dekat Pasir Gudang. Nampaknya sekarang kilang haram memang berada di kawasan Pasir Gudang. DOE juga mengeluarkan peruntukan yang cukup besar untuk mengelakkan masalah-masalah tersebut. Di sini Senai juga cadangkan sekiranya kilang mempunyai bahan kimia, setiap PBT jangan keluarkan KM tangguhkan permit dengan syarat dia kena beli insurans. Dekat luar negara sekira bahan kimia ada di kilang dia kena beli satu insurans namanya environments insurance. So, sekira kita melakukan bencana, itu kos bukan rakyat yang tanggung, bukan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan yang tanggung. Kos tu untuk mengemaskan, tapi syarikat insurans akan tanggungkan kos membersihkan alam sekitar kita. Dan juga, ini juga akan mengurangkan kerja beban daripada SAJ atau DOE sebab setiap syarikat insurans dia akan pergi audit dengan setiap kilang, dia mampu ke layak ke tidak layak beli dengan insurans, sekiranya dia layak beli dengan insurans, PBT baru keluarkan apa ni permit untuk dia orang teruskan operasi.
So lagi satu isu, maaf kat ini saya ingin cadangkan sekiranya belanjawan ni nampaknya ada apa ni peruntukan untuk masyarakat Cina dan satu peruntukan untuk masyarakat India. So, saya harap la eh, kalau boleh kita hapuskan, tak perlu namakan peruntukan untuk kaum apa, so kita tukar nama peruntukan untuk masyarakat yang keperluan. Itu cadangan Senai haraplah eh Yang Amat Berhormat boleh ambil pertimbangkan
Dan akhir sekali saya ingin betulkan sebelah sana, sekiranya tidak tahu manifesto Pakatan Harapan PRU-14 boleh mintaklah hard copy atau soft copy daripada Senai. Tak pernah pun kita nyatakan manifesto minyak petrol akan turun sampai RM1.50, I tak tahu manifesto mana yang sebelah sana baca mungkin baca manifesto dalam sosial media, tuduh kat sini bukan-bukan. So lagi harga-harga naik, itu saya hairan sebelah sana, YB-YB turun tak pasar? Belilah sayur, pernah beli minyak sendiri? You compare minyak makan sebelum Pilihan Raya ke-14, selepas PRU-14 harga tu dah jauh rendah, jauh rendah jangan tuduhlah kat sini harga naik berkali-kali ganda. So sekiranya you makan besar kat hotel five star tu lain cerita lah. So saya haraplah dalam Dewan yang mulia ini kita bukan buat tuduhan, kita bersama-sama sumbangkan idea supaya kita membangunkan Johor yang kita sayangi. Dengan ini, Senai menyokong Belanjawan 2020. Sekian, terima kasih.
Seterusnya Yang Berhormat Machap, jemput.
Bismillahiirahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Muafakat Johor. Pertama Machap ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap membahas bajet yang telah, Bajet 2020 Negeri Johor yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang lalu.
Puan Speaker, Machap bersama dengan rakan-rakan Barisan Nasional yang lain masih berada dalam mood gembira, sebab menang dalam PRK Tanjung Piai yang lalu. Kita kata orang Cameron Highland, Pahang hebat kerana mengundi Barisan Nasional hingga menang di sana. Kita kata orang Semenyih, Selangor hebat kerana mengundi BN sehingga menang dalam PRK di sana. Dan juga, orang Rantau, Negeri Sembilan hebat kerana memenangkan Barisan Nasional di Negeri Sembilan. (Dewan bertepuk). Rupa-rupanya orang Tanjung Piai, Johor lagi hebat sebab mereka memenangkan Barisan Nasional (Dewan bertepuk) dengan undi yang di luar jangka, luar biasa kemenangan 15,086 undi. Ini satu keputusan yang difikir cukup luar biasa memandangkan BN merupakan sebuah parti pembangkang yang tidak ada apa-apa pembangunan, tidak ada apa-apa yang nak diberikan peruntukan kepada penduduk di sana. Tapi penduduk di sana tetap memilih Barisan Nasional. Sebab apa? Sebab rakyat di Tanjung Piai pada masa itu merasa tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dengan pendapatan mereka yang sebahagian besarnya adalah penoreh getah, pekebun sawit yang mana pendapatan mereka pada ketika itu tidak menjanjikan kuasa membeli yang besar kepada mereka. Justeru, mereka menolak Pakatan Harapan. Mereka memikirkan bahawa apa yang mereka kecapi semasa Barisan Nasional, tidak dapat mereka kecapi semasa kerajaan PH pada hari ini. Apatah lagi, janji-janji yang masih lagi tidak tertunai, tol masih ada, PTPTN masih kena bayar, jumlah terima BSH basah makin mengecil. Penurunan harga barang dari GST kepada SST tidak berlaku sebaliknya harga barang terus meningkat.
Dan juga minyak tidak turun, ha ini kepada pengundi-pengundi muda yang bekerja di Singapura. Mereka yang lepas mengundi Pakatan Harapan kerana mereka yakin harga minyak petrol akan turun. Ini anak-anak muda yang bekerja di Singapura berulang alik. Mereka bekerja di Singapura dikatakan seramai 100,000 orang, satu hingga dua jam mereka berada di atas motor untuk melepasi dua Imigresen ini. Dan dulu saya masih ingat, semasa Barisan Nasional menjadi kerajaan, kita diserang hebat oleh Pakatan masa itu, dia kata kerajaan Barisan Nasional tidak bertanggungjawab sebagai kerajaan, apa yang mereka buat untuk memastikan 1,000 pekerja yang bekerja di Singapura ini balik bekerja di Johor Bahru. Apa yang Barisan Nasional buat? Buat, bentuk pekerjaan di Johor Bahru supaya penghijrahan ini tidak berlaku, kesian anak-anak muda yang bekerja di Singapura. Kita memberi jawapan bahawa mereka bekerja di Singapura sebab kadar pertukaran ringgit dengan Dolar Singapura tinggi, sebab itu anak muda bekerja di sana. Pekerja-pekerja Johor pun bekerja di sana tetapi alasan kita ini ditolak oleh Pakatan pada masa itu. Sekarang ini, mereka menjadi kerajaan dan saya nak lihat sebagaimana yang diserang pada kita itu dapat dibuktikan, bila mereka jadi kerajaan dan cuba atasi lambakan pekerja Johor yang bekerja di Singapura.
Yang Berhormat Tuan Speaker, walaupun kemenangan PRK Tanjung Piai dianggap biasa-biasa oleh PH, tetapi bagi BN, kemenangan ini merupakan satu suntikan semangat kepada kita untuk menghadapi PRU yang ke-15. Di Johor ini UMNO bermula, insya-Allah saya yakin di Johor ini juga Muafakat Nasional akan bermula dan kita akan pastikan insya-Allah PRU ke-15, Nusajaya dan Putrajaya akan berada dalam genggaman Barisan Nasional. (Dewan bertepuk). Tiga tahun lebih sahaja lagi. PH kena buktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang boleh memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Rakyat menilai apa yang PH lakukan, program-program pembangunan, peruntukan yang diberi kepada rakyat dan ukuran ini rakyat yang akan menilai. Justeru PRU ke-15 itu ukuran kepada terjemahan sokongan, kepercayaan rakyat kepada PH ataupun sebaliknya.
Machap juga berpendapat masa untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional sudah berlalu. Maknanya 3 tahun lebih sedikit ini, PH kena buktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang peduli rakyat. Maknanya kepedulian ini ditunjukkan, keprihatinan ini ditunjukkan bukan peduli rakyat, pedulilah dengan rakyat. Bukan begitu. Maknanya peduli rakyat ada rasa keprihatinan terhadap pembelaan nasib rakyat.
Bajet 2020, Machap melihat ada usaha ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Ada usaha untuk memajukan ekonomi negeri, ada usaha untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat, membela nasib rakyat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan Machap berpendapat ini semacam satu janji manifesto, walaupun ini bajet yang tentunya sudah ada peruntukan yang perlu ditunaikan. Sebab bajet ini merupakan semacam janji yang memberikan pengharapan kepada rakyat. Kalau bajet ini tidak dapat ditunaikan, tentunya rakyat akan merasa kecewa, dan tentunya akan merupakan satu malapetaka yang cukup besar kepada PH sekiranya bajet ini tidak dapat ditunaikan dalam tempoh 3 tahun lebih ini.
Machap melihat bajet ini dengan hati terbuka, ada bajet yang dirancang yang akan dilaksanakan di Simpang Renggam terutama di DUN Machap, Machap ucapkan berbanyak terima kasih. Dan ada juga bajet yang dirancang tidak melibatkan Machap tetapi Machap ingin memberikan saranan kalau boleh dilaksanakan juga di kawasan DUN Machap. Dan Machap pernah bercakap jangan anaktirikan pembangunan di DUN Machap. Sebab yang lepas Machap mendapat undi 9,375 undi, PH mendapat 8,971 undi. BN menang cuma 4%, 4 undi maknanya kalau pembangunan di Machap dianaktirikan tentunya melibatkan orang-orang yang mengundi PH sendiri juga dianaktirikan dipingirkan daripada pembangunan. Justeru Machap berharap agar kerajaan PH dapat berlaku adil dalam memberikan peruntukan ataupun membawa projek di kawasan Machap.
Machap melihat titik fokus 55 berkaitan dengan perumahan, usaha yang baik sama ada meneruskan dasar BN yang lalu ataupun skim perumahan yang baharu, Skim Perumahan Belia Johor, Rumah Mesra Rakyat Johor, Skim Perumahan Prihatin Johor dan juga kalau boleh dengan adanya peruntukan perumahan ini dibawa sedikit ke Machap untuk mengatasi masalah penempatan banjir yang boleh dikatakan setiap tahun berlaku di Machap iaitu di Kampung Kolam Air. Setiap tahun penduduk di kawasan Kolam Air ini berdepan dengan banjir yang kadang kala merosakkan perabot rumah, merosakkan katil, tilam dan perkakas elektrik. Justeru Machap mencadangkan agar kerajaan PH memikirkan supaya penempatan dibina untuk golongan ini. Sebab suatu masa dulu, kerajaan BN telah mengambil inisiatif menempatkan penduduk-penduduk di Kampung Parit Salam dengan membina satu penempatan yang dipanggil Taman Desa Sejahtera iaitu membina 42 buah rumah, 8 kedai, 1 surau atas keluasan tanah 5 ekar, maknanya kalau kerajaan BN dulu mampu membuat program atau projek ini kita berharap kerajaan PH juga dapat memikirkan bagi mengatasi masalah penduduk di Kampung Kolam Air.
Titik fokus 84, Memperkasa Pembangunan Luar Bandar RM130.39 juta dari persekutuan yang melibatkan naik taraf jalan Kampung Melayu Bukit Nyamuk yang berada di DUN Machap ke Puteri Menangis, Machap mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PH kerana dengan pembinaan jalan ini sekurang-kurangnya akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar. Bila laluan itu dibesarkan menjadi jalan utama, saya difahamkan dulu penduduk kampung bercadang untuk membina gerai-gerai di sepanjang jalan tersebut untuk memasarkan hasil pertanian termasuk hasil-hasil industri makanan ringan. Jadi tentunya ini akan memberikan peluang kepada rakyat untuk menambah pendapatan mereka.
Titik fokus 95, kerajaan negeri menerusi MDSR dengan kerjasama kerajaan persekutuan akan membangunkan Bandar Renggam di Kluang sebagai Bandar Belia Malaysia. Untuk pengetahuan kita bersama, Bandar Renggam ini dulunya seangkatan dengan Pekan Layang-Layang, seangkatan dengan Ayer Hitam dan juga Parit Raja termasuk Simpang Renggam, tetapi pembangunan di Layang-Layang, di Parit Raja, Ayer Hitam dan juga di Simpang Renggam begitu mendadak dan tidak dapat diikuti oleh pembangunan di Renggam
sehinggakan orang Renggam menganggap Bandar Renggam ini bandar mati apatah lagi tiada projek pembinaan rumah yang banyak di sana, peluang pekerjaan pun kurang. Jadi sekurang-kurangnya bila ada cadangan daripada PH nak membina Sekolah Menengah Agama Aliran TVET oleh Johor Corporation, membina pusat-pusat aktiviti belia tentunya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi ataupun memeriahkan lagi Bandar Renggam yang selama ini orang Renggam cukup dahaga akan pembangunan tersebut.
Mengikut sejarah, Renggam ini Bandar Renggam ini pernah dikunjungi oleh Ratu Elizabeth, dia pernah datang ke Renggam sebab satu masa dulu Renggam dikelilingi oleh kawasan estet, pihak kerajaan British yang mentadbir estet tersebut dan juga ada pusat bagi hentian kereta api di Renggam, juga pernah diberitahu bahawa di Renggam itu ada satu padang bola yang teknologi pembikinan padang tersebut adalah datangnya daripada jurutera yang membuat padang Anfield iaitu pasukan bola sepak Liverpool, begitulah hebatnya Renggam suatu masa dulu tetapi sekarang ini ketinggalan dari segi pembangunan.
Titik Fokus 116, Kembara Kesihatan Johor 2020 yang memperuntukkan RM1 juta untuk pemeriksaan kesihatan dan kempen penjagaan kesihatan. Apalah salahnya peruntukan ini disalurkan sedikit kepada golongan yang mendapat rawatan dialisis, Machap dulu pernah mencadangkan supaya orang yang menerima rawatan dialisis seminggu tiga kali diberikan sedikit peruntukan kos pengangkutan mereka sebab kadang kala bila mereka ini diberi rawatan dialisis, selepas dialisis mereka agak lemah untuk bawak kenderaan sendiri pulang ke rumah. Justeru mereka kadang kala memerlukan pengangkutan teksi, pengangkutan kereta dan sebagainya bagi menghantar mereka pulang dan balik dari pusat dialisis. Saya masih ingat dulu Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebagai EXCO Kesihatan pernah berkata dia akan mempertimbangkan cadangan Machap tetapi sehingga kini masih belum ada jawapan yang Machap harapkan untuk membantu golongan yang menghidap sakit dialisis ini.
Titik fokus yang ke-117, RM2.1 juta Program Bandar Selamat di Simpang Renggam. Machap mengalu-alukan usaha ini. Pemasangan CCTV, laluan pejalan kaki, meningkatkan pencahayaan di kawasan perumahan. Ini semua untuk memastikan bandar selamat terhindar daripada gejala jenayah ataupun sebagainya. Ini Machap alu-alukan.
Titik Fokus 172, RM2.5 juta pembangunan koperasi, kedai koperasi harga patut, bekal barang dengan harga berpatutan kepada golongan sasar. Kalau dulu kerajaan Barisan Nasional ada menjalankan ataupun menggerakkan usaha iaitu Kedai Koperasi IMCoop yang mana kedai ini menjual barang-barang runcit dan mensasarkan harga yang berpatutan untuk golongan sasar supaya golongan sasar ini dapat membeli harga yang lebih rendah daripada kedai-kedai yang lain. Dan saya difahamkan model ini telah cuba ditiru oleh sebuah negeri yang berdekatan dengan kita dan saya tak pastilah sama ada kerajaan PH meneruskan kedai IMCoop ini ataupun bagaimana, tapi kita berharap agar apa yang dicadangkan oleh kerajaan PH bagi menubuhkan kedai koperasi harga berpatutan ini selari dengan kedai IMCoop, maknanya IMCoop ini selari dengan kedai koperasi yang dicadangkan oleh PH maka digalakkan diteruskanlah program ini.
Kemudian, Titik Fokus 177, Pembenihan Awan, RM1 juta. Kita sedia maklum bahawa musim panas berpanjangan memberi kesan kepada kemampuan bekalan air termasuk takungan bekalan air itu sendiri. Maknanya di Machap, di Simpang Renggam, sebahagian Rengit, sebahagian Layang-Layang, 29 September 2019 hingga 2 Oktober 2019 kita di sana menerima catuan bekalan air. Pada tarikh tersebut satu hari ada air, satu hari tak ada air. 3 Oktober hingga 31 Oktober, 2 hari tak ada air, satu hari tak ada air. Ini berpunca daripada paras takungan air 14.50 meter iaitu tidak melepasi 14.85 untuk membolehkan catuan bekalan air tidak ada di Simpang Renggam. Belum pernah ada dalam sejarah semasa BN perintah penduduk di Simpang Renggam menghadapi gangguan bekalan air, air dicatu, tapi sejarah PH perintah inilah kali pertama Simpang Renggam menghadapi gangguan catuan bekalan air. Ini kuasa Allah tetapi apabila ditanya dengan Menteri Parlimen Simpang Renggam, ditanya, ‘Apakah jangkaan catuan bekalan air di Simpang Renggam ini akan berakhir? MP jawab, ‘Saya tak jaga hujan’. Saya tak jaga hujan. Jawapan ini menguris hati
penduduk Simpang Renggam yang kesusahan kerana tidak ada bekalan air, air dicatu, bila dijawab begitu, penduduk Simpang Renggam rasa hampa sebab itu bila kerajaan negeri Johor peruntukkan RM1 juta untuk pembenihan awan, Machap sangat alu-alukan supaya kalau berlaku air tak ada di Tasik Machap, kita mengharapkan agar pembenihan awan ini dapat dilakukan di Machap supaya tidak berlaku gangguan catuan air ini.
Puan Speaker, Machap ingin menyebut sedikit berkaitan dengan permasalahan penduduk Machap iaitu permasalahan di Kampung Bukit Kenangan dan Kampung Pinggir, Simpang Renggam di mana penduduk di kampung itu menghadapi tekanan air yang rendah sehingga kadang kala bila berlaku gangguan bekalan air di Simpang Renggam, air tak ada bila air beroperasi semula penduduk di kampung tersebut tak dapat air sedangkan di semua kawasan di Simpang Renggam sudah dapat air. Ini yang kadang kala mencetuskan keresahan kepada penduduk di sini. Dan juga kita mendapati bahawa di situ masih menggunakan paip lama, asbestos pipe iaitu mudah pecah...
Sila gulung.
Dan kita mengharapkan agar poly pipe digantikan untuk masyarakat di situ. Machap mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah memberikan pengurniaan geran tanah pada 23 hari bulan 9, 2019 oleh Menteri Besar kepada penduduk di Kampung Bukit Nyamuk, kepada penduduk Kampung Paya, penduduk Kampung Haji Hamzah dan juga Kampung PCN Seri Maju Jaya. Dan di sini walaupun usaha ini telah dijalankan oleh kerajaan BN dan Menteri Besar lalu menjanjikan akan dikurniakan pada tahun 2017, tetapi dikurniakan pada tahun 2019. Machap mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak PTG, pihak PTD Kluang yang bertungkus lumus menyiapkan pemberian hak milik ini sehingga hampir 500 orang telah menerima geran tersebut. Cuma permasalahannya ada yang tercicir haraplah pihak PTD membantu untuk mempercepatkan pengurniaan tanah kepada pihak-pihak yang masih belum dapat geran tersebut.
Akhirnya, Machap mengingatkan sekali lagi bahawa bajet ini merupakan bajet yang dirancang untuk pembangunan dan peruntukan duit sudah pun diatur untuk membolehkan bajet dan pembangunan dirancang. Harus diingat kegagalan melaksanakan bajet sebagaimana dirancang merupakan satu malapetaka kepada PH kalau tidak dapat dilaksanakan projek ini maka rakyat akan menghukum PH dalam pilihan raya yang akan datang. Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Seterusnya Yang Berhormat Larkin jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, barisan kepimpinan EXCO-EXCO dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, semua kakitangan Pejabat Jurutulis, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan, pengamal media, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Terlebih dahulu Larkin ingin menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita sama-sama berhimpun di dalam Dewan yang mulia ini bagi sesi Mesyuarat Ketiga Belanjawan Johor 2020 bagi Penggal Persidangan Kedua 2019. Larkin memohon membuka tirai dengan serangkap pantun, SUKMA Malaysia sukan yang dinanti-nantikan, himpunan atlet terbilang lagi tersohor, Belanjawan 2020 sempurna dibentangkan, bersatulah kita demi rakyat negeri Johor.
Di sini juga seluruh warga DUN Larkin ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Semoga Tuanku Duli Yang Maha Mulia dikurniakan kesihatan yang afiat oleh Allah SWT dan terus menerajui
kedaulatan serta urus tadbir demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Johor. Daulat Tuanku.
Larkin juga turut ingin mengucapkan tahniah ke atas kejayaan parti pembangkang kerana telah berjaya mempengaruhi serta mengubah persepsi rakyat pengundi di Tanjung Piai terhadap kerajaan dan seterusnya memenangi PRK Tanjung Piai. Suka juga Larkin ingatkan kemenangan di Tanjung Piai bukan satu ukuran bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional di PRU 15 yang akan datang.
Yang Berhormat Puan Speaker, kehadiran kita berkumpul diiringi dengan doa di dalam Dewan yang mulia ini adalah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat yang mewakili kawasan masing-masing. Inilah medan atau platform kita untuk berbahas secara profesional demi kepentingan rakyat yang mahukan suara mereka didengar. Pada hemat Larkin, Dewan yang mulia ini bukanlah satu gelanggang pertaruhan menunjukkan kehebatan masing-masing. Usahlah kita jadikan Dewan ini gelanggang untuk kita saling berbalah, hentam-menghentam dengan berpolitik, jika kita mahu berpolitik biarlah di luar Dewan dan bukannya di hadapan para hadirin dan tetamu yang ada di dalam Dewan yang mulia ini. (Dewan bertepuk).
Jika kerajaan Pakatan Harapan yang sering dilemparkan dengan tohmahan dan dikatakan tidak layak, penipu, kita harus terima dan akur bahawa kerajaan sekarang ini merupakan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Jika kita gagal, rakyat yang akan menghukum kita di PRU yang akan datang. Soalannya ada dua fakta sama ada rakyat pilih yang incompetent ataupun yang corrupt. Hanya itu sajakah pilihan yang rakyat boleh buat? Selaku Wakil Rakyat yang baru penggal pertama di dalam Dewan yang mulia ini, banyak perkara yang harus Larkin pelajari, yang baik Larkin contohi dan yang kurang baik Larkin hindari. Bagi kerajaan Pakatan Harapan yang dianggap incompetent, mungkin benar ianya agak kelihatan perlahan, lembap dan kurang terancang, namun begitu Larkin yakin dan percaya segala permasalahan dan kelemahan ini akan dapat diatasi dan diselesaikan dengan baik. Bak kata pepatah Melayu “Belakang pisau jika diasah akhirnya akan menjadi tajam juga”.
Yang Berhormat Puan Speaker, jika kita pandai, kita hebat, kita berpengalaman, jangan sesekali kita menjadi riak. Jangan sesekali kita menjadi sombong dan jangan sesekali kita menjadi tidak berintegriti. Sudah pasti akhirnya rakyat juga yang akan menanggung beban dan kesusahan di atas segala kerakusan kita. Kita jangan lupa dalam halaman politik, amalan politik di masa kini terbukti dan ternyata hari ini kita lawan, mungkin esok kita jadi kawan. Jadi, tidak mustahil kita kena menjaga kata-kata kita jangan sampai kita menyinggung perasaan kita, sesama kita. Larkin ingin berkongsi sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abdullah bin Umar, R.A buat renungan kita bersama. (Hadis). “Barang sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat”.
Yang Berhormat Puan Speaker, belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor adalah wajar diberikan penghargaan di atas keprihatinan beliau bagi mencari jalan demi memastikan ianya terlaksana. Jika terdapat serba sedikit kekurangan ini adalah adanya kita semua berada di sini untuk membahaskannya. Larkin ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah berusaha dan berjaya membentangkan satu bajet yang dilihat amat praktikal, berhemah, prihatin dan peka terhadap segala keperluan rakyat. Bertemakan “Memakmur dan Mensejahterakan Johor Bestari” ia merupakan bajet yang seimbang dan inklusif yang berpandukan 6 Teras utama. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, Belanjawan Johor 2020 pada kali ini adalah pembentangan tahun terakhir Rancangan Johor 5 Tahun iaitu RJ5T dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang menyenaraikan 183 titik fokus untuk dilaksanakan. Ianya digarap dengan sempurna bagi menepati sasaran sektor-sektor penting dan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat di Johor tanpa mengira bangsa, agama mahupun peringkat umur. Apa yang lebih membanggakan, bajet yang telah dibentangkan mengambil maklum dan peka terhadap keperluan rakyat selain pembangunan ekonomi dan
memperingatkan meningkatkan hasil pendapatan kerajaan demi kestabilan keadaan kewangan perbendaharaan negeri Johor. Ini terbukti apabila kerajaan memperuntukkan RM46.94 juta bagi pembangunan projek yang baharu yang melibatkan sejumlah 46 projek. Manakala RM2.09 bilion diperuntukkan bagi merealisasikan sejumlah 379 projek merupakan projek sambungan yang sedia ada.
Di sini Larkin ingin membawa beberapa isu untuk dipertimbangkan atau diberi perhatian yang serius iaitu isu yang pertama, Larkin ingin bawakan perkara yang berkaitan kondisi sekolah, kolej, sekolah-sekolah dan kolej-kolej yang dilihat amat uzur dan tidak lagi kondusif. Untuk makluman, terdapat 25 buah sekolah dan kolej-kolej di kawasan DUN Larkin yang mana hampir 50% daripada jumlah tersebut amat memerlukan perhatian daripada segi baik pulih bangunan dan ciri-ciri keselamatan. Larkin sendiri turun padang bagi meninjau keadaan fizikal sekolah-sekolah dan kolej-kolej tersebut. Jelas kelihatan fizikal sekolah-sekolah, kolej tersebut amat uzur. Keadaan kelas-kelas yang tidak kondusif untuk pembelajaran. Bumbung-bumbung sekolah, kolej yang tidak pernah diganti serta bocor. Kelengkapan perabot seperti kerusi dan meja yang telah rosak. Padang sekolah yang tidak diselenggarakan dengan baik manakala sistem keselamatan yang gagal berfungsi dan membahayakan.
Permohonan yang memohon dan dimohon dan diterima oleh Larkin bagi membaiki pulih bangunan serta sistem keselamatan sekolah dan kolej adalah terlalu tinggi dan tidak mampu untuk Larkin tunaikan berdasarkan bajet seorang ADUN yang amat terhad. Sebagai contoh, kes kebakaran di Kolej Yayasan Pelajaran Johor di Ungku Mohsin pada awal tahun adalah disebabkan litar pintas akibat sistem pendawaian elektrik yang telah lama tidak diselenggarakan atau diganti. Situasi ini diburukkan lagi dengan kegagalan sistem keselamatan yang tidak diberi perhatian yang sewajarnya sebagai contoh sistem pancur air yang gagal atau tidak berfungsi. Larkin bersyukur tiada kecederaan serius dan kemalangan jiwa yang berlaku pada ketika itu.
Larkin mencadangkan satu pelan tindakan khas bagi menilai ciri-ciri keselamatan sekolah-sekolah dan kolej perlu dirangka dan diwujudkan. Justeru itu, Larkin berharap satu peruntukan khas bagi membaik pulih bangunan dan menaik taraf sistem keselamatan sekolah-sekolah atau kolej-kolej yang uzur, yang daif diperlu wajib demi keselamatan para guru dan juga pelajar.
Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya perkara kedua, Larkin ingin menyentuh perkara kos sara hidup. Kerajaan Pakatan Harapan dilihat amat mengambil berat dan prihatin dengan situasi semasa yang dihadapi oleh rakyat. Akibat dari lambakan tenaga kerja tempatan yang bekerja di negara jiran iaitu Singapura, serta lambakan warga asing terutamanya rakyat Singapura yang berbelanja di negeri ini. Kerana mempunyai kuasa membeli yang amat tinggi dari sudut hasil pendapatan serta ekonomi negeri ianya merupakan satu amat baik, sesuatu yang amat baik dan positif. Ianya merupakan sesuatu yang amat baik. Namun begitu peningkatan harga serta kos tawaran barangan nilai hartanah dan juga perkhidmatan yang mendadak memberi kesan buruk dan amat membebankan rakyat tempatan khususnya di DUN Larkin. Lokasi strategik negeri Johor yang berhampiran dengan negara jiran Singapura, yang mempunyai kestabilan ekonomi yang lebih baik dengan kadar mata wang tinggi hingga 3 kali ganda berbanding ringgit Malaysia sudah pasti menjadi pilihan warga tempatan termasuk dari luar negeri Johor untuk meraih peluang pendapatan yang lebih tinggi. Ini kerana perolehan gaji mereka dari mata wang dolar secara langsung menyumbang kepada pulangan berbelanja dan kuasa wang lebih besar berbanding jika mereka terus bekerja di Malaysia. Perbelanjaan dan permintaan tinggi golongan pekerja ini sudah semestinya menyumbang kepada peningkatan kos penawaran barangan dan perkhidmatan di negeri Johor. Situasi ini diburukkan lagi dengan lambakan warga Singapura yang berkunjung dan berbelanja di negeri ini. Tidak dapat dinafikan bahawa negeri Johor menjadi tumpuan bagi mereka untuk berbelanja kerana menawarkan barang dan perkhidmatan yang jauh lebih murah kosnya berbanding dengan berbelanja di negara mereka sendiri.
Dalam konteks lain, keadaan ini sebenarnya membawa kepada pusingan bagi pergerakan dan pertumbuhan ekonomi di bandar raya Johor Bahru itu sendiri. Namun begitu, di sebalik impak yang positif kepada pusingan hasil ekonomi yang lumayan dan perbelanjaan dengan nilai dolar itu ia turut menyumbang kepada kesan negatif dan buruk yang perlu ditanggung oleh masyarakat tempatan. Jumlah permintaan yang tinggi membawa kepada permainan harga. Dibuat segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab. Fenomena ini tidak berkecuali dalam sektor perkhidmatan juga nilai hartanah. Ianya telah dizahirkan dengan keadaan infrastruktur bandar raya ini yang dilihat semakin sesak dengan lambakan penempatan mewah mencecah nilai jutaan ringgit yang mula dibangunkan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi secara mendadak. Situasi ini pastinya akan membimbangkan dan membebankan rakyat tempatan. Justeru itu, kerajaan negeri perlu menjalankan kajian yang komprehensif, menyediakan pelan perancangan serta tindakan proaktif bagi membendung dan seterusnya menangani permasalahan peningkatan kos sara hidup yang terlalu tinggi agar kehidupan rakyat tempatan terus terbela dan tidak terbeban.
Yang Berhormat Puan Speaker, isu perkara yang ketiga iaitu sektor pelaburan. Seperti yang telah Larkin kemukakan dan bentangkan dalam Belanjawan Johor yang dulu. Pada kerajaan negeri telah memberi pendekatan dan memberi perhatian serius terhadap sektor pelaburan yang dilihat menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Johor. Satu pelan jangka masa panjang, dinamakan Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2020-2030 telah dirancang dan digubal bagi memastikan apa yang disasarkan dapat dicapai. Pelbagai inisiatif pelaburan merangkumi pelbagai sektor telah dirancang dan dijangka mendatangkan hasil perolehan berbilion ringgit selain dapat menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat tempatan sekiranya pelaksanaan berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Larkin mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri. Terus berusaha dan komited dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak terabai. Namun begitu, apa yang menjadi persoalan, apakah jenis sektor pekerjaan yang akan ditawarkan dan peluang pekerjaan yang dapat direbut dan dipenuhi oleh tenaga kerja tempatan? Adakah warga tempatan berpeluang hanya mengisi ruang menjadi tenaga, ruang menjadi tenaga kerja mahir dan profesional atau sekadar menjadi buruh kasar atau pekerja bawahan? Apa yang Larkin sarankan di sini seperti mana yang Larkin telah suarakan dalam Persidangan yang lalu, kajian terperinci perlu dilakukan. Kajian dari pelbagai sudut yang berbeza, selain dari para pelabur dari luar mahupun di dalam negara digalakkan untuk berkongsi modal. Berkongsi teknikal, berkongsi kemahiran serta kepakaran dan keuntungan yang mana perlu digandingkan dengan mana-mana agensi atau GLC yang mampu berdaya saing, berkongsi segala kejayaan. Jadi, kita mahu syarikat, anak-anak syarikat di bawah GLC memainkan peranan yang penting, mengikut keupayaan mereka, mengikut kedudukan cash flow mereka untuk berganding bersama-sama syarikat yang melabur di negeri ini.
Satu mekanisme yang berkesan wajar dirancang agar peluang-peluang sedemikian tidak terlepas seterusnya memberi manfaat kepada syarikat milik penuh kerajaan negeri yang berpotensi dan berpeluang untuk memegang majoriti ekuiti syarikat dan seterusnya menikmati segala tenaga-tenaga dan jawatan-jawatan yang profesional untuk kita berkongsi bersama rakyat kita.
Yang Berhormat Puan Speaker, isu yang keempat, isu terakhir iaitu ingin Larkin utarakan di Dewan yang mulia ini adalah berkaitan dengan bekalan air. Ini adalah satu isu yang panas yang mana semua mengambil kesempatan memberi pandangan dalam isu ini. Air merupakan keperluan yang amat kritikal dalam membina sebuah tamadun. Tanpa air di sebuah tamadun itu akan pincang dan tanpa air sesuatu pembangunan itu akan turut terbantut. Larkin ingin menguji keprihatinan dan tahap keseriusan kerajaan negeri ini yang diterajui oleh Pakatan Harapan terhadap permasalahan dan krisis bekalan air yang timbul di negeri ini yang sekian lama tidak dapat ditangani oleh kerajaan sebelum ini. Sehubungan dengan itu, Larkin amat berbesar hati dan menyambut baik cadangan kerajaan bagi meningkatkan tahap penyediaan utiliti air dengan memperuntukkan sejumlah RM100 juta
bagi projek kecemasan pemindahan air mentah Layang 1, menyediakan dana sebanyak RM500,000.00 bagi menjalankan kajian penyaliran air mentah Sungai Sedili ke Loji Rawatan Air Gembut, memperuntukkan dana sebanyak RM7 juta bagi penyaluran air mentah bagi Infra Layang 2, Fasa 2; penyediaan dana sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi mengatasi masalah bekalan air mentah untuk manfaat penduduk di Pulau Tinggi Mersing. Peruntukan sebanyak RM54 juta lagi bagi menyempurnakan kerja-kerja penyaluran air mentah dari Empangan Kahang ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur dan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta lagi bagi pembinaan Loji Air Rawatan di Kahang. Terima kasih kerajaan PH yang peka dan sentiasa memandang berat permasalahan sumber air. Selain usaha menaik taraf, menambah keupayaan dari segi bekalan air kerajaan Pakatan Harapan juga turut peka dengan permasalahan atau krisis penyusutan bekalan air mentah. Dan kemampuan menyimpan, menyimpan air mentah di empangan-empangan seluruh negeri Johor akibat kesan langsung fenomena perubahan cuaca panas dan kering yang berpanjang. Dan menyediakan peruntukan sebanyak…
Masa sudah tamat.
...untuk RM1 juta bagi menjalan aktiviti pembenihan awan tahun 2020. Jadi, Larkin ringkaskan tempat empangan air di paras air terdapat di paras rendah, kritikal. Jadi, untuk air tu dia pam untuk pergi, ke loji rawatan memang tak dapat dilakukan jika level air di dalam empangan itu lebih kurang kita akan menghadapi krisis ketiadaan air. Jadi, kawasan tadahan air iaitu kita punya catchment area, dengan izin, mungkin tidak mampu untuk menampung air bila waktu hujan lebat. Ini disebabkan mungkin berlakunya pembangunan di kawasan sekeliling yang mana telah diteroka hingga catchment air hujan tidak dapat direalisasikan.
Yang Berhormat Puan Speaker, sekian sahaja ucapan serta perbahasan Belanjawan Johor yang ingin Larkin utarakan. Akhir kata Larkin ingin menyeru dan menegaskan agar semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat bersama-sama berganding bahu dalam menangani semua permasalahan rakyat. Bersama-sama kita menggembleng tenaga serta meningkatkan usaha bagi mengembalikan pencapaian gemilang negeri Johor dan seterusnya mewujudkan sebuah negeri berbilang kaum yang harmoni, aman, sejahtera dan makmur. Semoga apa yang di sasarkan dalam Belanjawan Johor 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya. Dengan ini, Larkin menyokong Belanjawan 2020. Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Larkin, Ahli-Ahli Yang Berhormat persidangan ini saya tangguh sehingga jam 4.10 minit untuk rehat.
Persidangan di tangguhkan pada jam 4.00 petang.
Persidangan disambung semula pada 4.10 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Seterusnya, saya menjemput Yang Berhormat Maharani.
Terima Kasih Tuan Speaker, Yang Berhormat Puan Speaker. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Harapan, Salam Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih. Maharani mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor 2020, bersempena dengan sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertua Bagi Negeri dan Jajahan Bagi Negeri Darul Ta’zim yang ke-61 pada 22 November lalu, Maharani mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah menjunjung setinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat…
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).
Patik mewakili rakyat DUN Maharani merafak sembah menjunjung setinggi kasih dan berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku berada dalam keadaan sihat, sejahtera dilanjutkan usia untuk memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi sekalian rakyat dengan adil dan saksama. Mudah-mudahan dengan berkat kepimpinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, negeri Johor terus maju, moden dan progresif dengan bangsa Johor yang bersatu padu. Daulat Tuanku.
Yang Berhormat Puan Speaker, memakmur dan mensejahtera rakyat bestari. Maharani mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bersama sama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan para pegawai kanan kerajaan negeri atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2020 yang menumpukan kepada kualiti dan memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan, serta harapan besar rakyat terus dapat direalisasikan oleh kerajaan pilihan mereka. Selain itu, Maharani ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri atas Belanjawan Johor 2020 ini telah dirangka sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan negeri Johor yang holistik dan inklusif seiring dengan strategi yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2019 hingga 2030. Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021 sehingga 2030 bagi memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja komprehensif tetapi menumpukan kepada pembangunan modal insan dan tadbir urus yang cekap.
Maharani mendukung 6 teras penting Belanjawan 2020 ini, yang digarap setelah mengambil kira maklum balas dari suara rakyat berdasarkan falsafah demokrasi, dari rakyat untuk rakyat dan kepada rakyat merupakan satu langkah positif bagi memperteguhkan keyakinan rakyat terhadap iltizam berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemampanan ekonomi negeri Johor. Belanjawan 2020 yang dijangka akan mengalami lebihan atau surplus sebanyak RM2.36 juta berpunca daripada pelaksanaan perbelanjaan berhemah dan berintegriti. Selain pengurusan cekap ini, diharap mampu dilaksanakan secara efisien dan dinikmati secara saksama oleh semua rakyat berbilang kaum di pelbagai peringkat. Maharani berharap unjuran ekonomi bagi tahun 2019 dan tahun 2020 yang menjangkakan ekonomi negeri Johor terus berada di landasan yang kukuh dengan unjuran pertumbuhan sekitar 5.2% hingga 5.5% iaitu lebih tinggi berbanding kadar nasional juga dapat diharap dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat dan kuasa beli mereka di samping peningkatan kerancakan aktiviti ekonomi domestik yang lebih positif.
Yang Berhormat Puan Speaker, Johor sebagai sebuah negeri yang unik dengan potensi yang cukup besar dari segi ekonomi antara penyumbang terbesar kepada KDNK Negara. Penduduknya pelbagai kaum, maka agihan kekayaan rakyat secara saksama antara bandar dan luar bandar harus diberikan penekanan utama dan Maharani berpendapat 183 titik fokus dalam Belanjawan 2020 ini meletakkan hala tuju pembangunan ekonomi Johor di landasan tepat bagi mencapai matlamat kemakmuran bersama. Maharani menyambut baik teras pertama Belanjawan 2020 iaitu mensejahtera rakyat yang selari dengan konsep pengagihan kemakmuran negeri atas prinsip keserataan kepada seluruh rakyat agar kemakmuran negeri tidak hanya dinikmati sekelompok kecil masyarakat sahaja.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr ayat yang ke-7 yang bermaksud, “apa yang Allah kurniakan kepada rasulNya Muhammad, dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat Rasulullah dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir yang berkeputusan ketetapan yang demikian supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang yang kaya di kalangan kamu, dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkanlah dengan apa juga yang dilarangnya kamu melakukan maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab siksanya”. Menginsafi falsafah dalam ayat ini, sesungguhnya hasil pendapatan kekayaan negeri harus dipulangkan kembali untuk membantu rakyat, diagihkan kepada mereka secara adil bagi meringankan beban mereka agar kekayaan negeri tidak hanya berlegar-legar di kalangan golongan kaya sahaja.
Oleh itu, fokus kerajaan negeri untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat harus dilaksanakan secara sistematik dan berterusan bagi memastikan setiap golongan sasar dapat menikmatinya tanpa sebarang diskriminasi, ketirisan mahupun kelemahan perlaksanaan. Aspek ini menjadi semakin penting memandangkan jurang pendapatan antara rakyat yang kaya dan miskin semakin melebar serta merupakan situasi yang membimbangkan dari sehari ke sehari. Dan Johor juga tidak terlepas daripada masalah ini. Laporan Institut Kajian Khazanah, KRI dan laporan The State Of Household 2018, Different Realities dengan izin, menyatakan bahawa walaupun kadar kemiskinan semakin menurun sejak 2 dekad lalu lebih daripada sejuta isi rumah di seluruh negara masih hidup dalam kemiskinan relatif. Iaitu menunjukkan kepada jumlah isi rumah yang hidup di bawah 60% pendapatan median isi rumah. KRI berpendapat jurang kesenjangan antara kaya dan miskin masih boleh meningkat walaupun petunjuk-petunjuk ketidaksamaan relatif sedang mengecil. Dalam kata lain, akibat jurang kekayaan yang semakin melebar ini semakin ramai isi rumah lebih vulnerable dengan izin, yakni dengan mudah boleh bertukar ke status miskin walaupun statistik kadar kemiskinan sedang berkurangan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengambil maklum kerajaan negeri membuat semakan semula kadar cukai tanah yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2020. Maharani mendukung langkah kerajaan dalam meningkatkan hasil pendapatan cukai negeri melalui langkah ini khasnya daripada sektor, sektor hartanah komersial dan industri yang selama ini telah menikmati kadar cukai yang sama tanpa semakan. Dan, sebarang kenaikan mampu ditanggung oleh hasil keuntungan yang telah mereka jimatkan dalam kos operasi mereka hasil kadar cukai rendah selama ini. Dalam masa yang sama, Maharani berharap pihak kerajaan akan memantau kesan kenaikan kos modal dan operasi akibat kenaikan kadar ini, tidak menyebabkan kenaikan harga yang natijahnya bakal membebankan para pengguna.
Di samping itu, walaupun kerajaan negeri memberi jaminan semakan semula kadar cukai ini tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah khususnya, khususnya B40 dengan beberapa justifikasi. Maharani memohon kerajaan negeri untuk memberi perhatian terhadap keresahan rakyat yang khuatir akan peningkatan kos sara hidup. Ekoran kenaikan kadar cukai ini, serta kesan kepada rakyat, pada rakyat biasa contohnya golongan M40, yang mungkin tidak mendapat sebarang pengecualian daripada semakan semula kadar cukai itu. Oleh itu, Maharani mencadangkan kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memberi penerangan terperinci kepada rakyat tentang rasional semakan semula kadar, memberikan makluman awal kepada pemilik hartanah khususnya hartanah kediaman, agar mereka lebih bersedia dan dapat merancang kewangan bagi berdepan kenaikan kadar cukai tanah. Menyedari hakikat bahawa langkah menyemak semula kadar cukai bukanlah suatu langkah popular, Pejabat Tanah di setiap daerah wajar bersedia dan mampu memberikan penjelasan dan berkomunikasi jelas kepada para pemilik tanah agar semakan semula ini tidak mengundang masalah kepada rakyat dan mungkin mengundang rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengalu-alukan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan wanita yang amat signifikan dalam pembangunan negara termasuk di negeri Johor. Maharani menyokong langkah kerajaan negeri memperkukuh institusi keluarga dengan mengarusperdanakan wanita dalam agenda pembangunan di negeri Johor. Kerajaan menerusi jabatan dan agensi yang bertanggungjawab harus memastikan mekanisme agihan tatacara permohonan dan syarat kelayakan pemohon bagi peruntukan sebanyak RM300,000.00 di bawah Skim Bantuan Guaman Wanita Negeri Johor ini dimuktamadkan secepat mungkin. Bagi memastikan para wanita yang memerlukan dapat memohon bantuan segera untuk mendapat pembelaan di mahkamah bagi kes-kes perundangan berkaitan rumah tangga dan perkhidmatan kaunseling di samping kerajaan harus menggiatkan hebahan tentang inisiatif ini agar para wanita mengetahui tentang kewujudan inisiatif begini dalam membantu mereka berdepan situasi konflik keluarga.
Bagi memantapkan ekonomi kaum wanita negeri Johor, Maharani mendukung usaha kerajaan melancarkan pelbagai program dan inisiatif keusahawanan dan penjanaan
pendapatan termasuk peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim bagi menjalankan program-program khusus bagi golongan wanita dalam sektor keusahawanan dalam melaksanakan segala inisiatif berkaitan pengupayaan wanita dalam aspek ekonomi dan sosial. Maharani menggesa kerajaan menumpukan fokus kepada pelaksanaan yang dapat membuahkan hasil kejayaan jangka panjang dan jangka sederhana yang lebih sustainable dan bukannya berbentuk penganjuran karnival atau acara-acara one-off semata-mata. Bagi menghasilkan kejayaan yang lebih mampan, sebarang usaha membentuk daya keusahawanan harus melalui latihan intensif, motivasi dan peningkatan kemahiran bukan berbentuk event based tetapi melalui usaha-usaha yang berfokus dan bersasar dapat memberikan impak yang dapat merubah taraf sosioekonomi wanita.
Dalam aspek kesejahteraan wanita dan keluarga, aspek kesihatan mental tidak harus dikesampingkan memandangkan pelbagai cabaran serta tekanan hidup semasa dikhuatiri menjejaskan tahap kesihatan mental dalam masyarakat. Kira-kira 40% daripada warga Malaysia dikhuatiri menghadapi masalah kesihatan mental, maka kerajaan negeri wajar memberi perhatian dan peruntukkan khusus kepada aspek ini sejajar dengan Pelan Strategik Kesihatan Mental Nasional 2019 Hingga 2025 yang merangkumkan peruntukkan berkaitan.
Maharani mencadangkan kerajaan negeri melalui YPKDT, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Jabatan Kesihatan serta hospital-hospital mempergiatkan kempen-kempen saringan kesihatan mental khususnya di kalangan wanita di setiap daerah bagi memupuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan kesejahteraan kesihatan minda selain membanteras stigma terhadap kesihatan mental. Jalinan kerjasama strategik antara agensi-agensi kerajaan bersama NGO-NGO wanita serta komuniti wanita akar umbi di setiap daerah harus ditingkatkan bagi menangani cabaran kesihatan mental di kalangan wanita bandar dan luar bandar.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri atas perhatian khusus terhadap sektor pertanian dan industri asas tani menerusi agenda Revolusi Hijau yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi industri pertanian seharusnya diperluaskan dan diperkasakan sebagai penyumbang significant kepada ekonomi negeri Johor di samping mampu menangani masalah migrasi ke kawasan bandar dan juga penyelesaian kepada masalah peluang pekerjaan di kawasan luar bandar. Maharani mencadangkan, setiap projek dengan peruntukkan sebanyak RM1.4 juta ini yang memfokuskan kawasan tanah pertanian terbiar melalui projek pembangunan tanah terbiar, pembangunan kolam ternakan terbiar dan pembangunan tanaman rumput makanan ternakan di kawasan luar, di kawasan tanah terbiar diagihkan ke setiap daerah secara sama rata agar sebagai projek perintis dan dapat diperluaskan serta ditambah lagi pada masa yang akan datang.
Maharani mengambil maklum komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan produktiviti sektor perikanan secara mampan dengan memperkenalkan teknologi baharu seterusnya berupaya meningkatkan pendapatan golongan nelayan. Dalam aspek ini, Maharani mencadangkan sebahagian peruntukan RM1.5 juta yang merangkumi projek akuakultur, penyelidikan, bio-sekuriti dan pembiayaan sumber perikanan berserta peruntukan RM4 juta daripada kerajaan persekutuan turut diagih kepada komuniti nelayan di sepanjang persisiran sungai Muar khasnya di kawasan Maharani bagi menjana aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka. Di samping memelihara ekosistem sungai bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka.
Dalam aspek pemerkasaan taraf ekonomi nelayan, Maharani menghargai keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib golongan nelayan dengan meneruskan program bantuan khas kepada golongan nelayan. Namun, Maharani mencadangkan inisiatif ini diperluaskan bukan sahaja kepada nelayan pesisir pantai di kawasan selatan Johor tetapi juga di seluruh utara Johor terutamanya di Muar kerana para nelayan di sini turut terkesan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka. Maka, inisiatif yang
membolehkan setiap nelayan mendapat sebanyak RM1,000.00 ini wajar diberikan kepada semua nelayan agar dapat membantu meringankan kos sara hidup mereka. Bagi mempelbagaikan sumber ekonomi para nelayan, dia kadang kala hasil tidak menentu, kerajaan dicadangkan memperkenalkan insentif atau geran khas kepada komuniti nelayan terutamanya yang melibatkan suri rumah nelayan bagi menceburi bidang keusahawanan produk berasaskan ikan dan tangkapan laut, menggunakan teknologi moden berserta bimbingan dan pemantauan bagi membantu mereka daripada aspek pengeluaran produk sehingga kepada pembungkusan dan pemasaran.
Maharani turut mengalu-alukan inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup di kawasan bandar dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menggalakkan aktiviti pertanian bandar dalam kerangka memperkasa gagasan Revolusi Hijau. Proses permohonan dan agihan peruntukan di bawah Program Pertanian Bandar ini harus efektif dan efisien kerana program ini sekiranya berjaya mampu membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri sebahagian daripada bahan makanan yang diperlukan, sama ada kebun konvensional, organik mahupun fertigasi melalui bimbingan Jabatan Pertanian dengan hanya memanfaatkan kawasan lapang di sekeliling rumah. Usaha ini juga bakal mengindahkan landskap kawasan di samping menimbulkan minat untuk bertani dan menjadikan bertani sebagai satu gaya hidup yang mampu menjana pendapatan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, menerusi inisiatif memacu sektor ICT, sains dan teknologi dalam rangka menjadikan Johor sebuah negara berteraskan Revolusi Perindustrian 4.4, Maharani menyeru kerajaan negeri memperluaskan gagasan pintar yang akan dilaksanakan merangkumi pelbagai sektor seperti Smart Governance, Smart City dan Smart Disaster Management bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar. Di samping itu, di bawah inisiatif pemerkasaan program pembangunan sains teknologi dan kejuruteraan dan matematik (STEM), TVET dan Robotik negeri Johor, Maharani menggesa kerajaan negeri menggunakan sebahagian peruntukan daripada peruntukan sebanyak RM300,000.00 untuk mewujudkan dana khas pembangunan STEM dan TVET untuk wanita terdiri daripada para pelajar, mahasiswa, pasca siswazah, pendidik, penyelidik dan saintis wanita yang diselia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, institut pengajian tinggi (IPT), sekolah-sekolah, agensi kerajaan serta swasta. Maharani juga menyeru kerajaan negeri.
Sila gulung.
Merangka program-program dan inisiatif jangka sederhana dan jangka panjang yang lebih kreatif bagi meningkatkan penglibatan pelajar dan komuniti pendidikan di Johor dalam bidang STEM dan TVET yang bukannya semata-mata bersifat secara jelajah, karnival atau event based tetapi program bersifat holistik dan bersasar seperti kajian perintis, pilot study, pengkormesilan produk hasil kajian dan penyelidikan, sesi libat urus dengan pemain industri dan juga pihak berkepentingan. Yang Berhormat Puan Speaker.
YB masa sudah tamat. Sila gulung.
Sebagai mengakhiri ucapan perbahasan pada hari ini, Maharani mendukung sepenuhnya keenam-enam teras Belanjawan Negeri Johor 2020 ini. Kerajaan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang menggagaskan agenda pembaharuan dalam pentadbiran yang mengutamakan rakyat mempunyai tanggungjawab berat memastikan penggunaan pengurusan ekonomi negeri terus berkembang biar pun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar. Tanggungjawab menguruskan khazanah negeri ini merupakan satu amanah besar kepada barisan kepimpinan negeri. Maharani ingin tegaskan sekali lagi bahawa pentadbiran negeri dan pengurusan ekonomi yang berkesan harus berteraskan prinsip tadbir urus yang baik atau good governance dengan izin seperti yang telah disebut oleh rakan-rakan lain.
Peruntukan dalam Belanjawan 2020 ini haruslah diagihkan kepada rakyat berdasarkan prinsip-prinsip keamanahan, tadbir urus yang baik, sifar ketirisan dan perbelanjaan
berhemah bagi memastikan setiap perbelanjaan adalah value of money tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat. Insya-Allah, saya yakin segala matlamat Belanjawan 2019 ini mampu dilestarikan dengan keazaman pembaharuan oleh barisan kepimpinan negeri diiringi kejituan sokongan seluruh rakyat Johor. Puan Speaker, Maharani dengan ini menyokong penuh Belanjawan Johor 2020, kepada Allah kita bertawakal dan menyerah diri. Wabillahitaufik walhidayah. Wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Yang Berhormat Tanjung Surat, jemput.
Bismillahirahmanirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Muafakat Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu Tanjung Surat ingin menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya dapat kita bersama-sama bersidang di Dewan yang mulia ini dalam keadaan sihat, aman dan damai. Terima kasih juga pada YB Speaker kerana memberi peluang kepada Tanjung Surat untuk menyertai perbahasan berkaitan Bajet 2020 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Khamis lalu. Tidak ketinggalan Tanjung Surat ingin merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena hari ulang tahun keputeraan Baginda pada 22 November 2019. Tanjung Surat mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa sihat sejahtera agar dapat terus memayungi rakyat jelata di negeri ini. Daulat Tuanku.
Setinggi-tinggi tahniah juga Tanjung Surat ucapkan kepada Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku pemilik pasukan JDT yang telah menjuarai Piala Malaysia tahun ini pada 2 November 2019 yang lalu. Selain dari Piala Malaysia yang dimenangi tahun ini, JDT juga menjuarai Liga Super buat kali keenam tahun ini berturut-turut. Semoga pasukan JDT terus maju bukan sahaja di Malaysia malah ke persada antarabangsa.
Saya mulakan dengan isu-isu tempatan. Pembangunan kawasan industri di Kompleks Petroleum Bersepadu Penggerang atau PIPC setakat ini telah di bangun 40% dari kawasan seluas lebih 22,000 ekar. Syarikat Deloitte telah membangunkan terminal laut dalam Penggerang EDT, ini telah masuk ke fasa ketiga melibatkan pembinaan tangki-tangki baru untuk menyimpan produk petroleum dengan kapasiti tambahan sebanyak 430,000 meter padu. Syarikat Petronas pula dalam peringkat akhir penyempurnaan operasi Kompleks Bersepadu Penggerang usaha sama dengan Syarikat Saudi Aramco dalam perniagaan menapis minyak dan pemprosesan petrokimia. Di jangka menjelang hujung tahun ini, PIC akan beroperasi secara komersial.
Itu yang cerita seronoknya, cerita yang tak berapa seronoknya, angkara letupan. Satu letupan telah berlaku di sebuah loji di dalam PIC Kompleks Bersepadu Penggerang yang dikendalikan oleh Petronas ketika menjalani operasi commissioning dengan izin, pada 12 April 2019 yang lalu. Syukur tiada kemalangan jiwa tetapi kerosakan kepada rumah-rumah penduduk kampung paling dekat iaitu Kampung Lepau amatlah ketara akibat dari letupan yang kuat itu. Pihak Petronas telah bertanggungjawab membaiki rumah-rumah penduduk yang terjejas yang melebihi 120 unit rumah. Ada rumah yang telah dibaiki dinding yang retak tapi masih retak semula, saya yakin Petronas akan terus membaiki hingga pulih sepenuhnya.
Saya suka mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya membuat kajian dan pertimbangan sama ada Kampung Lepau ini yang terlalu dekat dengan kawasan RAPID ini perlu dipindahkan ke penempatan baru untuk lebih selamat di masa yang akan datang. Kedua-kedua PDT iaitu Penggerang Deep Water Terminal atau terminal laut dalam Penggerang dan Kompleks Bersepadu PIC Petronas mempunyai risiko meletup dan terbakar. Baru-baru ini 3 balai Bomba telah disiapkan di DUN Tanjung Surat kerana kawasan yang sensitif ye, jadi walaupun lewat, lewat sangatlah, balai Bomba ini 3 buah baru
sahaja disiapkan tapi saya difahamkan kelengkapannya, saya tak pasti anggotanya dah cukup ke belum, yang saya tahu, saya diberitahu hanya satu lori, lori Bomba saja ada. Itu pun lori lama. Saya harap, untuk memastikan balai-balai Bomba ini bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, kekurangan yang disebutkan tadi perlu diatasi segera. Seterusnya PBT Pengerang, kerajaan telah membuat keputusan menaikkan taraf PBT Pengerang kepada Majlis Perbandaran Pengerang mulai tahun hadapan tahun 2020, tetapi tarikh tepatnya belum didapati. Harapan Tanjung Surat biarlah Majlis Perbandaran ini kelak dapat ditadbir dengan cekap, bersih dan telus. Ini bukan sebarang Majlis Perbandaran kerana di dalamnya ada kawasan pembangunan yang begitu besar, di dalam bidang minyak dan gas, dan juga lain-lain industri sokongan, dengan itu Majlis Perbandaran Pengerang kelak harus ditadbir dengan lebih profesional.
Juga disebut dalam ucapan Bajet 2020 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Majlis Perbandaran Pasir Gudang sedang dirancang untuk dinaikkan taraf ke Majlis Bandaraya. Sesuai dengan kenaikan taraf ke Majlis Perbandaran yakni Majlis Perbandaran Pengerang, Pengerang harus mempunyai kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan taraf barunya. Walaupun masih tiada IPD, Ibu Pejabat Polis Daerah, kompleks pentadbiran kerajaan, belum ada hospital, tapi perancangan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan ini hendaklah disegerakan. Majlis Perbandaran Pasir Gudang masih belum ada hospital umum, walaupun telah diluluskan pembinaannya tapi sampai sekarang belum mula dibina dan dah dinaikkan ke taraf Majlis Bandaraya pula. Dengan kenaikan taraf ini perkhidmatan mestilah ditingkatkan sesuai dengan taraf baharu masing-masing.
Perkara ketiga yang saya ingin sentuhkan, penyelenggaraan jalan negeri melibatkan jalan-jalan negeri, termasuk jalan-jalan bandaran, jalan-jalan kampung seluruh negeri Johor, penyelenggaraan jalan persekutuan adalah ke atas jalan-jalan utama persekutuan termasuk jalan FELDA yang saya tahu selama ini. Pemegang konsesi bagi penyelenggaraan jalan negeri di kawasan DUN Tanjung Surat ialah Teto Enginering Sdn Bhd, dan bagi jalan persekutuan ialah Selia Selenggara Sdn.Bhd.
Selama ini jalan FELDA di kawasan saya di selenggara oleh pihak Selia Selanggara. Saya tertanya-tanya juga mengapakah negeri harus mendapatkan kebenaran mendapatkan RM30 juta untuk penyelenggaraan jalan FELDA dari peruntukan MARRIS jalan negeri. Nanti kuranglah pula peruntukan untuk jalan negeri kerana selama ini peruntukan untuk FELDA adalah dalam MARRIS untuk jalan persekutuan.
Sepanjang tahun 2019, kerja-kerja penyelenggaraan jalan pada hemat saya di kawasan Tanjung Surat amatlah kurang. Saya pun tak tahu apakah peruntukan MARRIS untuk jalan-jalan negeri dan persekutuan telah banyak dibelanjakan atau peruntukan asal telah dipotong, sehinggakan permohonan untuk membuat garisan jalan pun tak diendahkan. Ini berlaku di kawasan saya katanya peruntukan tahun ini terhad. Garisan tengah jalan atau garisan pemisah lorong amatlah membantu kepada pengguna-pengguna jalan raya, kalau dah hilang atau pudar perlu dicat semula dengan segera.
Jika jalan-jalan permukaan yang baharu diturap, permukaannya baharu diturap pastilah sangat gelap permukaannya, apatah lagi tiada garisan jalan. Jadi saya harap perkara ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak yang berkenaan supaya tidak berlaku apa-apa kemalangan yang boleh melibatkan kehilangan nyawa dan sebagainya.
Seterusnya, saya ingin menyentuh pembangunan rumah PPR, projek perumahan rakyat di Pengerang iaitu di Kampung Punggai telah lama terbengkalai kerana kontraktor terdahulu gagal menyiapkan, hanya setakat kerja-kerja awalan sahaja. Projek rumah bertingkat yang mengandungi 300 unit 2 blok ini sepatutnya siap pertengahan Jun tahun ini, setelah terbengkalai sekian lama, kontraktor penyelamat telah dipilih bulan Mac lalu melalui proses tender. Tapi sampai sekarang saya tak nampak kerja-kerja sambungan dijalankan. Saya dimaklumkan ada masalah berkaitan dengan kerja-kerja asas atau piling, dibina oleh kontraktor terdahulu. Saya harap ianya dapat diatasi segera, saya ramalkan tarikh siap yang kononnya pada tahun 2021 tidak akan tercapai.
Terima kasih juga saya kepada pihak KEJORA kerana meneruskan projek penempatan semula nelayan Kampung Punggai yang saya terlibat mencetuskan projek ini, ketika saya jadi Pengerusi KEJORA Land Development. Alhamdulillah tender telah dipanggil dan saya dapat jawapan daripada EXCO, insya-Allah dalam bulan Mac kerja-kerja akan bermula. Saya ucapkan terima kasih kepada KEJORA dan EXCO kerana berusaha mendapatkan projek ini diteruskan. Saya risau itu hari takut tak dibuat ataupun diketepikan atau tak dipedulikan.
Jadi, terima kasih kerana ini idea projek ini kerana kita tengok kalau siapa pernah pergi ke Punggai, Sungai Punggai tu, sungai cantik, tu kiri kanan dia tak cantik. Rumah setinggan, rumah setinggan kiri kanan. Jadi, itulah idea bermula macam mana kita nak cantikkan sungai ini, tebing sungai ni kita nak cantikkan. Kita boleh buat tempat kawasan riadah dan sebagai kawasan penjaja dan sebagainya, tapi kita harus pindahkan setinggan-setinggan ini. Tapi macam mana kita nak pindahkan mereka sedang mereka tak ada tanah pun. Jadi, itu terbit projek ini dan saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada KEJORA kerana meneruskan projek ini.
Taman Bayu Damai atau lebih terkenal dengan TBD tanah kawasan penempatan semula 7 buah kampung yang dipindah kerana pembangunan industri minyak dan gas. Mereka yang terlibat dan dikurniakan tanah 2 ekar tiap-tiap seorang, tiap-tiap yang ada tanah di tempat asallah dan saya diminta oleh yang dapat tanah ini memohon kepada kerajaan supaya kemudahan-kemudahan asas diberi kepada mereka. Mereka meminta kemudahan jalan, perparitan, bekalan air, bekalan elektrik, telefon dan Internet kerana buat masa ini tiada apa-apa yang ada di kawasan itu, cuma tanah macam itu sajalah.
Seterusnya kawasan saya, kawasan DUN Tanjung Surat lebih 60 kilometer di persisiran pantai. Jadi, isu atau pun masalah hakisan pantai ini memang berterusan dan saya gembira jugalah walaupun kalau boleh hendaklah nak lebihlah, setakat tahun ini saya JPS dapat membina 50 meter saja di kawasan di kampung saya di Kampung Teluk Ramunia, saya ucapkan terima kasih kepada JPS. Cuma harapan dapat tengok lagi kawasan-kawasan yang teruk lagi hakisannya supaya dapat dibendung dengan pembinaan benteng hakisan pantai ini.
Tanjung Surat menyokong penuh gesaan Kempas, agar pihak pembangkang bekerjasama dengan kerajaan demi kesejahteraan rakyat Johor. Bagaimanakah kerjasama dapat kami berikan, jika, pertama, tidak dijemput ke Mesyuarat Tindakan Daerah. Macam mana kita nak tahu apa yang berlaku di daerah kita, di kawasan kita, macam mana kita nak beri pandangan dan kerjasama, bila kita tidak dijemput di Mesyuarat Tindakan Daerah.
Kedua, Menteri Besar dan EXCO melawat kawasan DUN kami tiada menjemput kami. Contoh, baru-baru ini Menteri Besar datang ke perasmian projek Dialog Fasa Ke - 3, orang Dialog telefon saya, Datuk minta maaf Datuk, saya diarahkan tak menjemput Datuk. Pada saya tak payahlah beritahu saya tak ada surat jemputan, saya tak datanglah, apa ada masalah, kan. Jadi inilah macam mana kita nak, kata orang nak beri kerjasama yang diharapkan. Lawatan kita pun tak tahu apa, siapa yang datang tidak fungsi apa yang berlaku di kawasan kita.
Ketiga, peruntukan tidak dibagi sama seperti ADUN-ADUN kerajaan. Sekolah dan agensi tidak dibenar menjemput kami, macam mana kita nak bekerjasama. Ya, saya setuju you cakap kita tak bekerja, dulu memang kita tidak, tidak memberi kerjasama peruntukan. Saya setuju, tapi kamu ni bawa misi-misi Malaysia baharu, benda yang tak betul BN buat tu, dia akan betulkan, tapi ikut juga (Dewan bertepuk), sama aje. (Dewan bertepuk). Ok.
Jadi contohlah, saya ingin cadangkan contohilah Melaka. Di Melaka, ADUN pembangkang boleh masuk sekolah dan jabatan kerajaan, tak ada hal, Ketua Menteri kata semua boleh. Contohilah Terengganu, ADUN pembangkang dapat peruntukan yang sama dengan ADUN kerajaan. Jadi, saya harap kita sedia bekerjasama untuk kebaikan negeri Johor, kita
berpolitik untuk apa, untuk kebaikan rakyat, sebab itu kita masuk politik. Kita nak menyumbang untuk kebaikan rakyat, memberi kemudahan kepada rakyat, memudahkan peluang-peluang untuk rakyat, peluang-peluang kerja, peluang-peluang niaga dan lain-lain.
Jadi kita harus bekerjasama, betul, apa yang kita buat kita, apa yang kita bangkang, belah sini bangkang, itu tugas kita. Nama pun pembangkang, janganlah marah. Dulu masa kita kat sana, dia belasah juga kita, teruk, teruk tuan-tuan, saya malas nak sebut ni. Sekarang turn kita bantai, terima ajelah, kan dengan cara yang baik. Jadi kita kat sini, kita gini kan, lepas tu kita boleh minum dekat bilik rehat ADUN. Jadi tuan-tuan dan puan-puan, Yang Berhormat Tuan Speaker saya harap apa-apa pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri hendaklah memberi manfaat kepada semua orang, tidak kepada segelintir orang atau sebahagian kawasan sahaja.
Saya ingin membawa, ini tempat saya ini ada dah 3 orang ketua kampung letak jawatan. Masalah juga Yang Berhormat, ketua kampung ini. Macam-macam, ada yang ketua kampung dah macam, orang kampung buat report Polis ke atas ketua kampung, hebat ketua kampung PH ni. Jadi, kita hendak ketua kampung ini amankan kampung, bukan untuk jadi apa bahan atau bergaduh, melagakan penduduk. Lepas tu ada juga ketua kampung yang ambil kesempatan, tak dapat kesempatan ataupun peluang yang dia hendak itu, letak jawatan, inilah yang berlaku sekarang.
Jadi begitu juga masjid ni, Yang Berhormat EXCO Agama. Saya tak tahulah saya kata, orang bankrap tak boleh jadi jawatankuasa masjid. Orang bankrap ni apa salah dia dari segi agama, biarlah dia, dia 5 waktu dia pergi sembahyang, kan. Dia lebih layak daripada orang yang kononnya ada jawatan tapi masjid pun tak pergi, mesyuarat, solat berjemaah pun tak pernah datang. Adakah orang ini kononnya bersih, bukan bankrap, ada juga orang ada terlibat dengan jenayah umur dia 25 tahun mencuri, katakanlah sekarang dah 55 umur dia, takkan itu pun nak di kenang juga. Saya ingat kena tengok ini, kenapa kacau masjid yang dah elok, biarlah proses biasa yang ada itu diteruskan. Biar masjid tenang, tempat kita nak pergi masjid kita nak tenang, bukan kita nak berebut-rebut jawatan.
Jadi, inilah harapan saya supaya perkara-perkara yang macam ini fikir dalam-dalam, semasak-masaknya sebelum di guna pakai untuk pemilihan ketua kampung ke, pemilihan jawatankuasa masjid ke, pengerusi masjid ke, surau dan sebagainya. Jadi saya harap perkara ini dapat dilihat oleh kerajaan negeri, supaya negeri ini lebih aman. Jadi Puan Speaker, saya rasa itu saja kerana dah lebih pukul 5. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Puan Speaker. Saya dengan ini menutup dengan sebuah pantun. Kalau ada jarum yang patah, jangan di simpan di dalam peti, kalau ada silap dan salah, jangan di simpan di dalam hati. Sekian, Asalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tanjung Surat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok 27 November 2019 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf, PIS., PSI.
Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad
Ketua Unit Dewan Puan Hajah Asiah binti Moklis
Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Sumirono Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Junaidah binti Paing Puan Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norlydialina binti Ithnin Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail
Rakaman Encik Azizan bin Md. Sidi Encik Khairul Annuar bin Umar Usman
Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar