Johor · 13 September 2020
14th Assembly, 3rd session, 2nd meeting · 272 turns · 24,136 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita menyambung Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan Yang Berbahagia Datuk Haji Hashim bin Haji Rais, bekas Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Naning yang telah berkhidmat mulai 3 Ogos 1986 hingga 4 Oktober 1990 telah kembali ke rahmatullah pada 22 Mei 2020.
Dukacita juga dimaklumkan Yang Berbahagia Tuan Haji Hasmoni bin Haji Salim, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Benut mulai 22 April 1982 hingga 12 Ogos 1986 dan Ahli Dewan Negeri Kawasan Pengerang mulai 3 Ogos 1986 hingga 10 Oktober 1999 telah kembali ke rahmatullah pada 30 Mei 2020.
Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Yang Berbahagia Datuk Haji Hashim bin Haji Rais dan Yang Berbahagia Tuan Haji Hasmoni bin Haji Salim. Marilah kita sama-sama berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan orang-orang Islam membacakan Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur selama satu minit. Al-fatihah (berdiri). Ok, alhamdulillah.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Penawar, jemput.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 1.
Berapakah jumlah penerima Program Bank Makanan di Negeri Johor dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor dan apakah kriteria-kriteria penerima Program Bank Makanan di negeri Johor? Apakah cara dan kaedah pelaksanaan Program Bank Makanan di negeri Johor?
Jemput YB EXCO.
Salam Perpaduan, Salam Makmur Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan yang diutarakan oleh YB Penawar sebenarnya ada 3 soalan. Satu mengenai jumlah penerima, satu mengenai dengan kriteria-kriteria penerima dan satu adalah cara dan kaedah pelaksanaan.
Sehingga 8 Jun 2020, seramai 86,100 orang telah menerima bantuan menerusi Program Bank Makanan di seluruh negeri Johor. Bantuan ini telah diagihkan kepada para penerima
melalui 3 fasa iaitu fasa pertama seramai 40,309 orang penerima; fasa dua seramai 39,541 orang penerima; dan fasa tiga seramai 6,250 orang penerima.
Mengenai dengan kriteria penerima Program Bank Makanan ini pula, pada peringkat awalnya program ini bertujuan untuk membekalkan barang makanan keperluan harian kepada golong B40 yang amat memerlukan khususnya dalam kalangan penerima bantuan e-Kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat).
Selepas itu bantuan daripada Program Bank Makanan ini diperluaskan kepada rakyat seperti yang berikut:
1. Rakyat yang turut terjejas pendapatan mereka seperti peniaga-peniaga kecil yang
tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka kerana PKP.
2. Rakyat yang berhenti kerja kerana sektor-sektor pelancongan, perhotelan,
pembinaan, perniagaan dan sebagainya yang tidak dapat beroperasi sebagai biasa.
Dan rakyat yang...
3. Rakyat yang diberhentikan kerja oleh majikan.
Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Program Bank Makanan ini, kerajaan negeri Johor telah menggariskan beberapa pendekatan agar ini dilaksanakan dengan lebih berstruktur dan berstrategik. Oleh kerana dalam tempoh PKP, rakyat dikehendaki mematuhi perintah kawalan, maka Kerajaan telah menetapkan bahawa pusat pengumpulan barangan adalah diuruskan oleh Pejabat Daerah.
Sehubungan itu, sumbangan atau bantuan daripada Jabatan/Agensi ataupun NGO (Badan Bukan Kerajaan) ataupun syarikat-syarikat sukarelawan hendaklah dikumpulkan di Pejabat Daerah. Dan Pejabat Daerah sebagai penggerak dengan kerjasama jabatan/agensi kerajaan, NGO ataupun sukarelawan bertanggungjawab untuk mengumpul maklumat berkenaan dengan kumpulan sasar dan proses agihan barangan sumbangan itu kepada penerima dan memastikan bantuan dapat diberikan kepada penerima, selain daripada mengelakkan penerima berganda.
Kerajaan tidak menafikan bahawa pada awal PKP dan pelaksanaan Bantuan Bank Makanan ini, timbul pelbagai aduan mengenai perkara ini seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Iskandar. Program Bank Makanan ini adalah bantuan awal dan segera yang disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19 serta PKP yang telah dikuat kuasa oleh pihak kerajaan. Sudah tentulah yang berlakunya kelemahan disebabkan oleh kerana COVID-19 ini adalah satu situasi yang unprecedented ataupun dia tidak pernah di... berlaku sebelum ini.
Sementara pula ketika wabak COVID-19 melanda, situasi pergolakan politik Malaysia juga turut terjadi, sehingga berlakunya pertukaran kerajaan kerana gabungan politik ketika itu gagal menentukan siapa calon yang paling layak menjadi Perdana Menteri sehingga hari ini. Ketika rakyat sedang sibuk menghadapi wabak COVID-19, ada pula segelintir yang sibuk berperang sesama sendiri serta menyerang usaha-usaha kerajaan membantu rakyat. Sehingga hari ini, Yang Berhormat Tuan Speaker, Pemanis merasa agak terkilan kerana masih ada yang menggunakan platform Dewan yang mulia ini untuk membuat serangan peribadi, name calling, itu sangat mengecewakan.
Ada kaitan dengan soalan ke Yang Berhormat ni?
Ada berkaitan sikit eh...
Rujuk kepada soalan Yang Berhormat.
Dia ada berkaitan sikit...
Masa ada... saya beri sikit lagi ya... 10 saat lagi.
Boleh. Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan hari ini mengutamakan isu rakyat ya. Cry baby yang mengamuk kehilangan gula-gula tu kita malas nak layanlah. Justeru itu, kelemahan dalam penyampaian bantuan telah diperbaiki dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan. Dan bantuan ini berjaya disampaikan kepada rakyat yang terjejas dengan sebaiknya. Kejayaan ini bukan tentulah dengan peranan dan bantuan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sama ada di pihak kerajaan ataupun pembangkang, kita telah bersama-sama mengetepikan perbezaan pihak politik dan menyampaikan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat yang memerlukan dengan sebaiknya.
Dan Pemanis ini mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada apa... kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membantu kerajaan dalam mengatasi kelompangan yang ada.
Peruntukan khasnya sebanyak RM20,000.00 kepada semua ADUN, kerajaan dan pembangkang yang diluluskan oleh kerajaan negeri...
Masa dah habis Yang Berhormat.
... dan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor telah digunakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab untuk bantu rakyat. Sekian, terima kasih.
OK terima kasih. Jemput Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya nakkan detail, berapakah jumlah peruntukan keseluruhan untuk menjayakan Program Bank Makanan ini? Bagaimana pula dengan nasib mereka yang baru kehilangan sumber pendapatan akibat daripada PKP, sedangkan mereka tidak berada di dalam senarai e-Kasih, asnaf dan sebagainya? Boleh pihak kerajaan menyalurkan program tersebut kepada golongan ini dan apakah kriterianya? Sekian, terima kasih.
Jemput Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Angka yang saya ada di sini, pada jumlah keseluruhannya adalah RM8.545 juta dan pada fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM3.97 juta; fasa kedua RM3.95 juta dan fasa yang ketiga RM625,000.00. Itu adalah apa yang sudah disalurkan dan saya rasa soalan yang tadi YB Penawar cakap dengan kriteria tadi sudah terjawab. Dan ini adalah mengenai dengan Bank Makanan ya, so kalau ada apa-apa yang tidak berkaitan dengan Bank Makanan macam secara tunai ke, e-Ihsan ke, memang tidak dalam konteks soalan ini. Terima kasih.
Ya Skudai jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Sebelum saya mengutarakan soalan saya, saya ingin mungkin beri peringatan sikit kepada Yang Berhormat EXCO bahawa ini sesi soal jawab, bukan sesi untuk membodek ataupun mengangkat. Jadi...
Soalan tambahan...
... harap dapat jawab soalanlah ya. Yang Berhormat Tuan Speaker, Program Food Bank ini merupakan satu program yang baik di mana dia dapat membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Bagaimanapun apabila Yang Berhormat EXCO menjawab tadi, saya dapati kriteria ataupun syarat untuk memberikan bantuan, nampaknya telah bertindih dengan apa tu... bantuan-bantuan yang lain daripada kerajaan. Pada masa yang sama, untuk jangka masa panjang, ada juga kadangkala ada rakyat yang tidak tergolong dalam golongan-golongan yang dimasukkan dalam bantuan Program Food Bank ini, tetapi dalam sesuatu tempoh contohnya apabila berlakunya kecemasan, mereka perlukan bantuan. Jadi adakah kerajaan ada rancangan untuk mengkaji dan merangka satu struktur supaya kita dapat membantu golongan terdesak, yang mana mereka tidak berada dalam apa tu... kriteria bantuan konvensional tetapi layak mendapatkan bantuan kecemasan untuk sesuatu tempoh apabila mereka dalam satu apa tu... keadaan di mana mungkin kehilangan punca pendapatan untuk sementara waktu?
Terima kasih Yang Berhormat. Jemput YB EXCO.
Terima kasih. Sebenarnya ini adalah satu situasi unprecedented kita sebenarnya kita tak ada data sebelum ini, kita cuma ada data dari JKM dari e-kasih, tapi bila berlakunya insiden yang unprecedented kita baru tahu ada yang sebelum ini tidak layak sekarang sudah jadi layak. Ada yang sebelum ni mereka dapat gaji yang besar tiba-tiba mereka hilang pendapatannya. So dari konteks bantuan makanan ini sekarang kerajaan sudah ada data yang lebih lengkap sebenarnya dan saya rasa dan saya harap tidak akan berlaku lagi ada insiden macam ini tapi saya rasa kalau ada insiden macam ini kita sekarang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang macam ini dari segi bentuk wabak ke apa-apa.
So, tapi bank makanan ini mungkin pada peringkat awal ada yang kata lewat sikit ke apa, kita ada masalah dengan logistik masa itu. PKP logistik semua pergerakan work force semua ada terjejas. Tapi saya rasa itu peringkat awal lepas tu bantuan makanan sudah boleh disampaikan dan saya tadi dah kata saya juga rasa apa itu kena mengucapkan terima kasih kerana ada ramai ADUN-ADUN yang dapat peruntukan dari kerajaan, mereka banyak membantukan, mereka melengkapkan apa yang kekurangan daripada kerajaan, mereka menyempurnakan apa yang kelemahan kerajaan. Tidak kira dari pihak-pihak mana politik.
Ok terima kasih Yang Berhormat. Soalan seterusnya Yang Berhormat Senai jemput.
Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2. Berapakah jumlah rumah bumiputera yang belum dilepaskan walaupun sudah mematuhi syarat kelayakan?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Makmur Johor. Yang Berhormat Tuan
Speaker, terima kasih kepada YB Senai atas soalan yang dibangkitkan berkaitan dengan unit rumah bumiputera yang belum dilepaskan walaupun sudah mematuhi syarat. Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya terlebih dahulu menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju sebelum lot bumiputera ini dilepaskan. Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju.
Pertama, pemaju disyaratkan membuat bayaran caj gantian pelepasan lot bumiputera berkadar tetap dengan izin, fixed 7.5% daripada harga jualan lot bukan bumiputera bagi semua jenis pembangunan. Manakala bagi pembangunan industri adalah 10% jualannya daripada lot bukan bumiputera.
Syarat kedua, pemaju hendaklah mempastikan sekurang-kurangnya 1 lot rumah kediaman bukan bumiputera dijual sebelum permohonan pelepasan lot bumiputera dibuat.
Syarat ketiga, permohonan pelepasan lot bumiputera boleh dikemukakan selepas 12 bulan dari tarikh duti setem perjanjian tambahan atau dengan izin supplemental agreement di antara pemaju dengan kerajaan negeri dimatikan.
Manakala jika berlaku sebarang pindaan dalam supplemental agreement tersebut tempoh 12 bulan kepada permohonan pelepasan berdasarkan tarikh mati setem perjanjian tambahan yang terkini.
Syarat keempat Yang Berhormat Tuan Speaker, permohonan pelepasan hanya boleh dikemukakan selepas kemajuan projek yang ini, ingin saya tegaskan mencapai tahap 50% di lapangan dan disahkan oleh arkitek bertauliah atau mendapat sijil pematuhan dan penyiapan yang dikeluarkan oleh pihak berkelayakan dan disahkan oleh arkitek pemaju.
Syarat kelima, pemaju perlu mengiklankan di akhbar arus perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Harian Metro selepas 12 bulan tarikh mati setem pada perjanjian tambahan atau pun dengan izin, supplemental agreement. Iklan-iklan asal yang telah dipamerkan sekurang-kurangnya 2 kali dan jarak di antara iklan itu 60 hari dalam arus, dalam akhbar perdana tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, manakala kaedah pelepasan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bagi perumahan dan komersial. 30% pelepasan kali pertama, 30% pelepasan kali kedua dan 40% pelepasan kali ketiga dan seterusnya. Manakala bagi industri, pelepasan dibuat secara 2 kali, 60% dan 40% bagi kali yang kedua. Bagi pelepasan kali kedua Yang Berhormat Tuan Speaker, pemaju perlu membuat permohonan selepas 6 bulan daripada kelulusan pelepasan pertama. Bagi membolehkan pemaju membuat pelepasan berikutnya, pemaju perlu menyelesaikan apa jua tunggakan bagi baki bayaran atas jualan lot bumiputera sebelum ini. Di bawah kempen permohonan pelepasan lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera yang kini sedang berjalan bermula daripada 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020, hanya meliputi kediaman yang berharga lebih daripada RM700,000.00.
Di bawah kempen ini, kaedah pelepasan hanya 2 kali iaitu 60% kali pertama dan baki keseluruhan bagi pelepasan yang terakhir. Di bawah kempen yang sedang dijalankan ini bayaran caj gantian perlu dijelaskan dalam tempoh 120 hari dari tarikh surat pemberitahuan berbeza dengan yang sebelum dalam keadaan biasa 90 hari. Semua perkara yang saya nyatakan tadi adalah merupakan syarat-syarat dalam dasar yang telah dijalankan dan dikuatkuasakan sejak sekian lama di negeri Johor dan dasar harta tanah bumiputera ini diperkemas secara lebih tersusun, teratur serta didokumenkan dan dikuatkuasakan bermula pada...
Yang Berhormat, jawab soalan Yang Berhormat, jawab soalan itu sahaja. Berapa jumlah dia tu.
Sebab Yang Berhormat Senai bertanya syarat, jadi saya kena jelaskan syarat.
Sebab masa dah lewat ni.
Insya-Allah saya ikut masa Yang Berhormat 1 April 2019. Jadi di kesempatan ini Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya dan tahniah saya kepada YB Kota Iskandar yang menggerakkan secara serius supaya seluruh syarat dan dasar harta tanah diperkemas disusun serta didokumenkan seperti yang ada pada hari ini yang saya nak tunjukkan ini Yang Berhormat Tuan Speaker, didokumenkan agar menjadi panduan kepada pemaju, pentadbir dan semua pihak yang terlibat. Jadi, seperti yang disebut Yang Berhormat Tuan Speaker oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis yang lepas, di era kini Yang Berhormat Tuan Speaker kita perlukan kematangan politik untuk menjamin daya tahan negeri Johor menghadapi apa jua cabaran masa kini dan juga mendatang.
Berasaskan itu Yang Berhormat, mana yang baik yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini seperti Pelan Pembangunan Mampan 2030 dan Dasar Perumahan Rakyat Johor kita akan guna pakai.
Masa dah 7 minit Yang Berhormat.
Ok.
Ringkaskan, ringkaskan.
Kita tak buang dek kerana perbezaan politik dan inilah Johor dan inilah bangsa Johor. Jadi, Yang Berhormat menjawab soalan daripada Senai, bagi tahun 2019, jumlah permohonan pelepasan lot bumiputera kepada bukan lot bumiputera adalah sebanyak 275 permohonan dan yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan sebanyak 268, manakala jumlah unit yang mengikut syarat yang telah dilepaskan sebanyak 1,799 dengan nilai RM115,288,128.33. Bagi tahun 2020 sehingga Ogos ini, sebanyak 234 permohonan diterima dan 102 permohonan telah dibentangkan ke Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala jumlah unit yang telah dilepaskan dengan caj gantian yang kekal pada paras 7.5 sebanyak 89 unit dengan nilai RM7,583,570.93.
Jadi, berdasarkan penjelasan yang saya nyatakan tadi, tidak ada sebarang unit yang telah memenuhi syarat yang tidak kita lepaskan. Jadi semua permohonan lot bumiputera yang mematuhi kelayakan telah dilepaskan seperti yang ditetapkan oleh dasar Yang Berhormat.
Terima kasih.
Maaf.
Terima kasih Yang Berhormat. Jemput Senai.
Soalan tambahan saya, Yang Berhormat Speaker, tadi YB EXCO nyatakan bahawa tiada yang ditangguhkan, betul tak, semua dilulus atau tidak mematuhi syarat. Dekat pejabat saya ada beberapa dokumen menunjuk bahawa ada permohonan sejak tahun 2017 dan buat permohonan dan mematuhi syarat tetapi tidak
diluluskan. Soalan saya nak tanya, betul ke tidak sememangnya tidak ada, tidak ada yang ditolak atau ditangguhkan.
Jemput Yang Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, yang penting sekali, pertama ia memenuhi syarat, kalau dia dah ikut syarat dan dia kena bayar caj gantian seperti yang diberitahu tadi 90 hari, kalau dia lepas bayaran tu kita akan lepaskan Yang Berhormat dan saya dah selesaikan banyak fail yang sejak tahun 2015. Dan, mungkin apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Tuan Speaker tadi, dalam proses lepas PKP daripada Mac sehingga Jun tu dalam proses untuk dilepaskan selepas mereka memenuhi syarat, Yang Berhormat Tuan Speaker.
Kota Iskandar.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kalau kita melihat statistik daripada NAPIC untuk sukuan pertama 2019 overhang ataupun hartanah tidak terjual di negeri Johor berjumlah 36.754 bilion dan daripada jumlah tersebut 34% merupakan lot bumiputera daripada pelbagai kategori dan kalau kita darabkan dengan caj penggantian 7.5% ianya akan membawa hasil kepada tabung amanah kita sebab ini bukan hasil daripada akuan yang di satu oleh kerajaan negeri tetapi mempunyai akaun amanah sendiri berjumlah RM600 ke RM800 juta yang mana jumlah ini, caj penggantian ini boleh dimanfaatkan untuk bina lebih banyak Rumah Mampu Biaya Johor. Dan, bila melihat statistik daripada kempen yang kita adakan setahun untuk bumiputera hanya mengumpulkan caj penggantian sebanyak RM115 juta iaitu jauh daripada sepatutnya kita mengumpulkan RM600 ke RM800 sebagaimana saya sebut tadi menurut statistik daripada NAPIC.
Soalan saya apakah kerajaan negeri mempunyai pelan kontingensi atau pun pelan seterusnya supaya mempastikan bahawa lot-lot bumiputera ini dapat dijual atau dapat dilepaskan sebagaimana keperluan daripada pihak pemaju perumahan untuk kita berada dalam keadaan win-win situation, makna kerajaan negeri kita dapat collect caj penggantian, di akhir kita boleh bina rumah mampu biaya kita dan bersama-sama kita membantu cash flow kepada pihak pemaju perumahan itu. Sekian, terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih kepada YB Kota Iskandar, saya tertarik dengan soalan yang terakhir, apakah kaedah lain yang boleh kita gunakan atau pun pelan kontingensi kerajaan negeri untuk mempastikan lot bumiputera ini tak dilepaskan. Tadi kita bahaskan supaya dilepaskan. Jadi untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang berbincang dengan pihak bank, Maybank Islamic untuk kita memperkenalkan satu skim yang ini sedang dimuktamadkan iaitu skim yang kita namakan grant to own daripada harga RM250,00.00 hingga ke RM1.25 juta. Insya-Allah Yang Berhormat dengan doa semua pihak sebab kita pasti masalah yang dihadapi oleh kebanyakan bumiputera ini ialah pembiayaan, ini isu utama yang kita hadapi Yang Berhormat, pembiayaan. Dia dapat rumah tapi pembiayaannya jadi masalah, kerana scoring dia, dia bank agak mengecewakan. Jadi dengan pihak Maybank ni kita dah bersetuju dan akan dimuktamadkan dan kita akan buat perjanjian MOU dengan Maybank Islamic pada bulan 10. Maka skim ini akan diperkenalkan di Johor di mana kalau rumah yang berharga RM300,000.00 saya beri contoh Yang Berhormat Dato’ Speaker, pembeli ataupun yang nak menyewa cuma keluarkan duit RM3,000.00 dan mereka dapat kunci untuk mendiami. Berbeza dengan skim biasa atau konvensional biasa mereka memerlukan out front sebanyak RM30,000.00 dan ini akan
menyukarkan keadaan dan inilah yang menjadikan kita, menyebabkan walaupun lot itu ditetapkan kepada bumiputera tidak dapat pembiayaan. Yang ini insya-Allah sedang dimuktamadkan bersama Perumahan, Penasihat Undang-Undang dan juga pihak Pejabat Tanah dan Galian.
Kalau soalan kedua daripada Kota Iskandar tadi ialah berkaitan dengan overhang property. Yang ada dalam data saya ini overhang property ini diklasifikasikan sebagai unit-unit yang tak dapat dijual selepas 9 bulan, Yang Berhormat. Selepas mereka dapat CCC, tak boleh dijual 9 bulan itu dikatakan overhang property tapi kalau masih lagi dalam proses pembinaan, itu tidak boleh dikira sebagai overhang property.
Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah (NAPIC) ni, definisi hasil harta tanah tidak terjual ataupun property hang bank dalam merujuk kepada harta tanah yang telah siap dibina dengan sijil siap pematuhan dalam tempoh 9 bulan. Kalau mengikut rekod saya yang ada inilah ye. Rekod yang ada ni, jumlah overhang di Johor ini termasuk kondominium, kos rendah bertingkat, kos rendah dan sebagainya 5,468. Malah suka saya sebutkan di sini Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi Tangkak tak ada pun overhang, di Segamat ada 55 unit sahaja yang overhang dan di Pontian ada 86, di Muar ada 7, di Mersing ada 28, di Ledang, tak ada, di Kulaijaya ada 147, di Kota Tinggi ada 190 unit.
Ringkaskan Yang Berhormat.
Di Kluang ada 270. Tadi ada perbezaan maklumat Yang Berhormat, saya kena jelaskan sikit, yang paling besar ialah di Johor Bahru Yang Berhormat, ada 2, 4,395 dan di Batu Pahat 290. Dan, saya bersetujulah apa yang dicadangkan oleh Kota Iskandar tentang kadar ni, kalau kita boleh lepaskan cepat dan menjadi Hasil Tabung Amanah Kuota Bumiputera. Insya-Allah kalau ada perkara yang mungkin boleh saya kongsi dengan Kota Iskandar nanti saya akan bincang dengan Kota Iskandar. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Bekok, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 3.
Dunia perniagaan telah mengalami perubahan selepas COVID-19. Apakah jenis-jenis latihan kemahiran yang menuju ke masa depan (future skills) yang disediakan dalam sistem pendidikan kemahiran seperti pengajaran dan latihan perniagaan online, komunikasi, ekonomi digital dan ekonomi gig?
Jemput, YB EXCO.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, bismillahirmannirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih YB Bekok di atas soalan nombor 3.
Sektor keusahawanan atau perniagaan adalah antara sektor yang terkesan teruk akibat serangan COVID-19 itu susulan penguatkuasaan arahan PKP oleh kerajaan negeri bermula pada bulan Mac yang lalu. Trend terkini menunjukkan kebanyakan komuniti perniagaan dan perusahaan mula beralih kecenderungan kepada penggunaan teknologi digital dalam aspek pemasaran mahupun perniagaan mereka. Melihat kepada potensi tersebut berbagai usaha pembangunan telah dirancang dan giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memperkasakan pengetahuan serta kemahiran digital kepada para usahawan di negeri ini. Ingin saya kongsikan di Dewan yang mulia ini, antara inisiatif yang telah dan akan
dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan visi tersebut semasa tempoh PKP mahupun pasca COVID-19 adalah seperti berikut:
1. Aplikasi e-Bazar Makmur Johor. Aplikasi e-Bazar Makmur Johor adalah sebuah platform e-dagang yang telah dilancarkan dan dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan yang lalu. Melalui program atau aplikasi tersebut perniagaan bazar Ramadan ini yang sudah berdaftar dengan pihak PBT telah diberi peluang dan keutamaan untuk memasarkan produk dan menjalankan urus niaga perniagaan mereka secara atas talian memandangkan kerajaan pada masa itu telah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan operasi atau urus niaga bazar Ramadan di jalan secara fizikal.
2. Program Johor e-Market Place iaitu Shopee. Program Johor e-Market Place adalah program hasil usaha sama strategik kerajaan negeri Johor melalui PUJB bersama operator platform e-dagang nombor satu di Asia iaitu Shopee. Menerusi usaha sama ini sebuah laman mikro khas yang akan menampilkan puluhan ribu produk hasil buatan peniaga Johor dalam pelbagai kategori akan diwujudkan dalam laman e-dagang utama Shopee. Program atau kempen ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula dari 9 Ogos 2020 dan berakhir pada 31 Disember 2020. Majlis pelancaran dan hebahan program melalui media, digital atau sosial oleh PUJB telah pun berlangsung dan dilaksanakan pada awal bulan Ogos yang lalu.
Yang Berhormat Speaker, PUJB sebagai kursus perniagaan serta pemasaran digital telah pun dilanjutkan melalui Program PUJB At Business Stop yang dilaksanakan secara maya atau atas talian bagi memberi latihan, pendedahan kepada para usahawan mengenai dunia perniagaan digital. Sehingga 31 Ogos 2020, lebih 40 siri program yang terdiri daripada kursus dan webinar telah pun dilaksanakan dan ianya diharap dapat memberi manfaat lebih kepada 10,000 peserta yang telah mengambil bahagian sepanjang siri ini.
Yang Berhormat Speaker, sebagai contoh pelaksanaan Ikhtiar Johor Digital Master Plan yang merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan negeri Johor dalam 7 Ikhtiar Makmur Johor yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Bagi menjayakan ikhtiar ini, kerajaan negeri akan menjalinkan usaha sama strategik dan bekerjasama dengan sektor swasta bagi memastikan keupayaan digital usahawan-usahawan di Johor setanding dengan negara maju yang lain. Bagi usaha menyokong ikhtiar ini kerajaan negeri menerusi Portfolio Pembangunan Usahawan akan membangunkan sebuah pusat data usahawan Johor dan aplikasi holistik digital usahawan negeri Johor yang akan berperanan sebagai pusat integrasi data bersepadu bagi sektor perniagaan dan keusahawanan negeri ini selain menjadi platform komunikasi dan informasi terkini kepada perusahaan-perusahaan tempatan.
Pelan pelaksanaan bagi inisiatif ini telah pun dikenal pasti dan ianya dijangka akan dilancarkan pada bulan Oktober 2020. Pusat Data atau aplikasi holistik ini mensasarkan dan akan memanfaatkan lebih kurang 100,000 usahawan di negeri Johor. Menyedari kepentingan serta keperluan industri yang berpacu kepada berteknologi tinggi dan untuk terus kekal relevan dengan arus perubahan ekonomi dunia, kerajaan negeri Johor juga telah aktif, turut aktif menjalankan sesi perbincangan bersama institusi pengajian tempatan dan juga agensi-agensi bertauliah yang berkaitan seperti IRDA, IIB Ventures, Crash dan lain-lain lagi bagi menjalinkan usaha sama strategik khususnya dalam usaha penyelidikan dan penyediaan kursus, latihan mahupun kemahiran dalam bidang teknologi baru termasuklah bidang digital.
Segala usaha ini dilihat dapat meningkatkan nilai tambahan serta kebolehpasaran, modal insan di negeri Johor dan boleh juga memenuhi keperluan semasa industri yang berasaskan teknologi dan digital. Kerajaan sedang giat membangunkan kemudahan infrastruktur dan
prasarana, prasarana berteknologi tinggi seperti di Medini 9 Block chain dan juga Kulai Iskandar Data Exchange. Kerajaan juga turut dalam perancangan untuk mewujudkan lokasi khususnya bagi menempatkan pusat kajian dan pembangunan serta pusat inovasi teknologi robotic drone dan juga artificial intelligence. Selain itu, kerajaan juga mengambil perhatian yang serius terhadap potensi industri techno creative dalam proses kajian. Semua inisiatif ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, lebih berkemahiran tinggi untuk anak-anak tempatan selain dapat melahirkan lebih ramai lagi individu atau usahawan tekno di kalangan anak negeri Johor. Terima kasih.
Ya, jemput Bekok.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Tuan Speaker, skills miss match, iaitu ketidakcocokan kemahiran yang dipelajari oleh graduan dan yang diminta oleh majikan salah satu sebab besar graduan tidak dapat kerja. Kajian menyatakan bahawa 11% graduan menganggur sebab ini. Apakah langkah-langkah dan dasar Jabatan Sumber Manusia untuk memperbaiki keadaan tidak imbang ini. Terima kasih.
Jemput, saya tidak pasti ada kaitan ke tidak dengan soalan, jawapannya yang disampaikan oleh EXCO tadi.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih sahabat saya, Yang Berhormat Bekok. Kerajaan negeri Johor amat prihatin dengan situasi yang berlaku dan sentiasa berusaha keras menangani sebarang permasalahan secara holistik dan berhemah. Selari dengan itu, kerajaan negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan, mengambil langkah drastik untuk merancang dan seterusnya melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi menangani masalah pengangguran terutamanya di kalangan graduan. Objektif utama kerajaan negeri Johor adalah mempertimbangkan, sorry, mempertingkatkan kemahiran rakyat negeri Johor agar dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir dan kompeten dalam bidang masing-masing bagi puluhan sektor pekerjaan bagi masa ini dan juga masa hadapan.
Antara inisiatif yang sedang dipergiatkan oleh Unit SMI bagi menangani masalah ini adalah seperti berikut iaitu Program Minggu Kerjaya Johor, Program Peningkatan Kemahiran Teknikal Lepasan Siswazah, Program Up Skilling dan Re-Skilling.
Yang Berhormat Speaker, pihak Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor juga melalui Jobs Malaysia Johor turut mengambil inisiatif dan telah melaksanakan pelbagai aktiviti serta program perkhidmatan pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran di negeri ini. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penganjuran 3 Edisi Karnival Kerjaya yang telah dijayakan pada tarikh seperti berikut iaitu :-
1. Karnival Kerjaya Jobs Malaysia di Pasir Gudang yang dijalankan pada 23 Februari 2020. 2. Karnival Kerjaya Jobs Malaysia di Batu Pahat yang telah dilaksanakan pada 1 Mac 2020. 3. Karnival Kerja Jobs Malaysia Segamat, 8 Mac 2020.
Berdasarkan statistik Jobs Malaysia Johor terdapat sebanyak 44,957 peluang pekerjaan baru berjaya diwujudkan di negeri Johor dari tarikh 1 Januari 2020 hingga 31 Ogos 2020. Justeru itu, saya yakin angka 11% graduan yang tidak dapat kerja seperti yang dinyatakan oleh YB Bekok dapat dikurangkan bergantung kepada kesedaran dan sikap optimistik para graduan yang terbabit. Sikap ambil tahu dan peka terhadap informasi terkini terhadap
peluang pekerjaan mahupun skim latihan yang disediakan oleh kerajaan sudah semestinya dapat membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian. Terima kasih.
Ya, Parit Yaani, jemput.
Terima kasih Speaker, Yang Berhormat EXCO, soalan tambahan daripada Parit Yaani. Adakah memadai kos yang dicadangkan iaitu untuk sebagaimana yang disebut up skilling, re-skilling sebab pada saya bila kita menyebut perkara ini memandangkan kepada COVID-19 yang terlibat adalah mereka yang dah bekerja, yang diberhentikan, dia memerlukan satu skill yang baru, sama ada dalam bentuk IT dan sebagainya. Adakah memadai seperti mana soalan yang saya kemukakan ataupun seperti mana yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, peruntukan RM600,000.00 sedangkan pekerja-pekerja yang diberhentikan adalah 173,000, jadi saya mintalah, berapa kos peserta untuk mengikuti kursus yang berkaitan untuk satu kursus, berapa kos dia, yang pertama.
Yang kedua, kalau RM600,000.00 berapa orang yang dapat kursus. Dan, saya cadangkan supaya kerajaan negeri menambahkan peruntukan sekurang-kurangnya RM6 juta, kalau katakan RM1,000.00 satu kursus dapat 6,000 orang, kalau RM2,000.00 seorang, maka sekurang-kurangnya 3,000 dapat dikhususkan oleh kerajaan kepada anak-anak Johor yang diberhentikan kerja.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih di atas soalan tambahan kedua. Kita sedia maklum Program Up skilling, Re-skilling, adalah salah satu program yang kita buat khas untuk, terhadap mereka yang telah diberhentikan kerja, so peruntukan telah disediakan melalui Unit SMI dan sebenarnya RM600,000.00 tu bukanlah daripada unit kami, kerana kami sendiri pun ada peruntukan bajet sebanyak RM1 juta untuk kami uruskan perkara ini.
Untuk pengetahuan YB, up skilling dan re-skilling adalah satu program yang mana kita, kita ada buat dengan Johor Skill Development di Pasir Gudang baru-baru ini, yang mana kita menerima graduan-graduan yang tak ada tempat dan kita latih mereka, kita up-skill dan kita re-skill mereka. Ini pun berpandu kepada keupayaan, penampungan jawatan-jawatan kekosongan yang kita nak bagi. Sebelum tu kita conduct survey, kita conduct survey dengan industri player, yang mana yang kita, survey yang kita buat, kita susunkan sektor apa yang diperlukan, skill yang macam mana yang diperlukan dan terdapat dalam 8 skills seperti oil and gas, perkhidmatan, manufacturing dan banyak lagi pelbagai, automobil.
Jadi, benda ni kita dah satukan dan program ni telah kita jayakan dan bulan 10 ni kita akan langsungkan satu lagi program dan kita pastikan 1,000 jawatan kosong yang akan diisikan, yang mana semua player-player industry in the market akan bersama-sama kita mengambil dan memberi jaminan juga yang selepas mereka ini di up-skill dan re-skill mereka ini akan diambil untuk bekerja. Jadi, insya-Allah memang kita ke arah yang sama, kita memberi pandangan yang serius dan untuk menempatkan mereka ini supaya dapat kerja. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Soalan seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.
Berapa ramaikah penerima bantuan JKM COVID-19 untuk DUN Pasir Raja?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja.
Kerajaan negeri Johor melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Tinggi telah menyantuni seramai 95 orang dengan pemberian bantuan bakul makanan yang mengandungi makanan asas untuk keperluan harian semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Manakala 12 keluarga yang memerlukan bantuan lampin pakai buang kanak-kanak dan susu formula telah disantuni melalui bantuan Tabung Bantuan Segera oleh JKM Daerah Kota Tinggi.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, secara keseluruhan untuk negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyantuni seramai 31,000 orang penerima bantuan bakul makanan melalui peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara iaitu NADMA dan Kementerian Kewangan.
Setiap bakul makanan bernilai RM100 yang mengandungi barang asas makanan seperti beras, gula, tepung, sardin, biskut, kopi, teh, susu, mihun, ikan bilis, lada kering dan rempah.
Selain daripada itu juga, pemberian... selain daripada bakul makanan, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim mengambil peranan memberikan pelbagai bantuan yang berfokuskan kepada pertambahan pendapatan sepanjang tempoh perintah pergerakan pemulihan.
Di bawah YPKDT telah diwujudkan satu bantuan keusahawanan, Bangsa Johor Packet Food and Delivery Service, dengan izin, atau dikenali sebagai Jo-Pack yang berobjektifkan merangsang pertumbuhan ekonomi keluarga dan rakyat melalui perniagaan secara domestik dan terus dari pelanggan kepada penjual. Tambahan pula, ia secara tidak langsung dapat mewujudkan komuniti perniagaan secara digital yang lebih cepat, mudah, tidak memerlukan modal yang besar serta mengikut tren semasa bagi membantu rakyat menguruskan sara hidup dan akhirnya mampu bergerak seiring pertumbuhan ekonomi.
Program Jo-Pack ini telah dibuka untuk fasa 2 pada hari ini, yang mana pada fasa 1 telah memberikan manfaat kepada 50 orang usahawan dan setakat ini penerimaan permohonan melalui atas talian atau manual sebanyak berjumlah 693. Terima kasih.
Ya Pasir Raja jemput. Soalan tambahan.
Terima kasih jawapan yang padat daripada YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya adalah COVID-19 melibatkan semua orang yang mengalami kesannya. Jadi selain daripada penyerahan bantuan COVID, bantuan Jo-Pack, apakah bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh YPKDT untuk merangsang penambahan pendapatan ekonomi keluarga? Terima kasih.
Jemput EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada Jo-Pack, YPKDT juga bergiat aktif melalui pejabat-pejabatnya di setiap daerah, menjalankan kursus menjana pendapatan bagi golongan wanita atau dikenali sebagai Women’s Income Generating Skill, dengan izin. Seramai 284 orang peserta telah menyertai 25 kursus yang dijalankan seperti kursus jahitan, kursus masakan dan juga kursus pastri. Alhamdulillah kursus ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di setiap daerah dan masih lagi dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.
YPKDT juga turut membantu golongan sasaran melalui Skim Bantuan Peralatan Perniagaan untuk setiap daerah. Para usahawan yang menjalankan perniagaan secara home base dengan izin, telah dibantu dengan mempertingkatkan lagi peralatan perniagaan sebagai contoh pemberian mesin pengisar, mesin jahit, mesin pengadun, peti sejuk dan lain-lain diperlukan oleh mereka. Secara keseluruhannya seramai 33 orang usahawan tempatan telah menerima bantuan peralatan perniagaan ini. Dan seramai 57 orang sedang menunggu dalam proses kelulusan oleh Jawatankuasa Penilai YPKDT.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, YPKDT juga telah... tidak melupakan golongan orang kurang upaya yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19. Bagi memastikan golongan ini turut dibantu untuk mengembangkan pendapatan keluarga, mereka turut diberi peluang untuk menyertai program latihan dan promosi. Sebanyak 4 kursus yang telah dijalankan iaitu asas pembuatan bahulu, bakeri dan pastri. Kursus lanjutan pembuatan bakeri dan pastri, kursus pembungkusan dan pelabelan produk dan kursus pengurusan kewangan. Keempat-empat kursus ini melibatkan 180 orang golongan orang kurang upaya.
Selain melibatkan individu dalam menjana pendapatan keluarga, YPKDT juga turut melaksanakan program berasaskan kepada komuniti kepada rakyat negeri Johor melalui Pembangunan Ekonomi Rakyat Johor atau dikenali dengan PROPER dengan penglibatan kesemua daerah di negeri Johor yang mana menyertai seramai... penyertaan seramai 53 orang peserta secara keseluruhannya. Setiap daerah akan mengendalikan dan menguruskan sebanyak 500 pokok yang mana pokok ini memfokuskan kepada projek tanaman fertigasi cili kerana ianya mudah untuk diselenggarakan berbanding dengan tanaman lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu juga YPKDT juga melaksanakan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus atau dikenali sebagai KIUB dengan penglibatan seramai 100 orang peserta. Kursus ini mendapat kerjasama daripada Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Johor, Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor. 2 kursus utama yang dilaksanakan ialah kursus pembangunan perniagaan dan kursus teknik reka bentuk.
Untuk pelbagai inisiatif, permohonan bantuan masyarakat boleh merujuk kepada portal rasmi Pejabat EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor di alamat ppwkmj.johor.gov.my. Di portal ini terdapat kelima-lima jabatan yang di bawah seliaan Jawatankuasa saya untuk memudahkan orang ramai mencari maklumat. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Silakan Yang Berhormat Semerah jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 5.
Nyatakan jumlah peruntukan pengurusan SUKMA 2020 yang telah digunakan sejak Mac 2020 serta peruntukan tambahan yang diperlukan selepas dianjak ke 2021.
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Semerah atas soalan. Beliau juga merupakan Mantan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor. Beliau meminta saya menyatakan jumlah peruntukan pengurusan SUKMA yang telah digunakan sejak Mac 2020 serta peruntukan tambahan yang diperlukan selepas dianjak ke 2021.
Yang Berhormat Speaker, seperti yang kita semua sedia maklum, SUKMA Ke-20 yang sepatutnya berlangsung di Johor pada bulan Julai 2020 dan Para SUKMA yang sepatutnya berlangsung pada bulan Ogos 2020 terpaksa ditunda akibat pandemik COVID-19. Tarikh baru SUKMA 2020 akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam masa terdekat. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan. Kita menjangkakan SUKMA Johor bakal berlangsung pada awal tahun hadapan.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Speaker, jumlah peruntukan asal keseluruhan bagi menganjurkan SUKMA 2020 adalah sebanyak RM670.9 juta. Di mana daripada jumlah itu, sebanyak RM150 juta adalah untuk pengurusan SUKMA, manakala RM467.9 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan penambahbaikan venue-venue infrastruktur SUKMA Johor.
Menjawab soalan YB Semerah, jumlah peruntukan pengurusan SUKMA Johor yang telah digunakan sejak Mac 2020 adalah sebanyak RM37.9 juta. Peruntukan tambahan yang diperlukan pula akibat SUKMA dianjakkan kepada tahun 2021 adalah sebanyak RM21.6 juta dan ia melibatkan perbelanjaan pengurusan pengelolaan. Tambahan ini diperlukan untuk keperluan peralatan tambahan di setiap venue sukan, penginapan dan pusat operasi SUKMA bagi pematuhan SOP dan pencegahan covid-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia juga akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti promosi, sekretariat SUKMA bagi terus mempromosikan temasya SUKMA ini. Sama-samalah kita berusaha dan mendoakan agar SUKMA Johor akan menjadi SUKMA terbaik dalam sejarah penganjurannya. Terima kasih.
Ya Semerah jemput soalan tambahan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada sekretariat SUKMA 2020 yang diketuai oleh Tuan Haji On Jabbar serta pasukannya, yang telah mengendalikan dengan cekap dan baik pengurusan untuk pengelolaan SUKMA 2020 ini walaupun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Di sini juga saya ambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada KPRJ dan juga JCorp terutama kepada KPRJ kerana dapat menyiapkan Velodrom Johor dalam masa setahun.
Soalan tambahan Yang Berhormat.
Soalannya... ini kita kena beri kredit juga. Saya dimaklumkan pada sidang akhbar oleh Yang Berhormat Menteri menyatakan bahawa tarikh SUKMA telah ditetapkan pada 6 hingga 14 Mac 2020. Maaf... 6 hingga 14 Mac 2021. Tetapi untuk makluman ketika itu ada peperiksaan STPM 2020 semester 3 (Kohod 2020) yang akan dijalankan pada 1, 2, 3, 8 dan 9 Mac 2021. Jadi adakah ianya akan ditangguhkan seperti perancangan awal pada Mac kepada bulan April? Dan kalau dianjakkan lagi daripada Mac kepada April, berapakah peruntukan lagi yang akan digunakan, saya rasa mungkin disebabkan penginapan kerana sebelum ini kita akan gunakan UTM dan lepas itu kita terpaksa menggunakan atau menginap di hotel-hotel. Begitu juga saya...
Satu soalan Yang Berhormat.
Ni sambung aje, dia tak ada titik. Dan jika ianya pandemik COVID-19 ini berterusan, dan SUKMA ini adakah ianya ditangguhkan ataupun kita...start kalau tak silap saya mungkin dia akan ada SUKMA lagi di Kuala Lumpur. Jadi itu saja soalan, terima kasih.
Dia tanya bajet aje, dia pusing jauh juga. OK ya jemput EXCO.
Biasa YB orang politik.
Samalah Yang Berhormat pun.
Sama. Soalannya adalah tentang tarikh SUKMA tahun depan. Seperti yang saya sebut tadi, tarikh akan ditentukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang insya-Allah bakal dilaksanakan pada minggu hadapan. Jadi tarikh terakhir kita akan buat keputusan pada perjumpaan ataupun mesyuarat tersebut. Dan kita mengambil kira apa Yang Berhormat Semerah sebut tadi tentang SPM dan sebagainya. Ada juga senario di mana mungkin buat pertama kalinya kita akan menganjurkan Para SUKMA dulu, kemudian baru kita buat SUKMA. Itu antara kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.
Daripada segi kos dan sebagainya, suka saya maklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa kerajaan negeri banyak bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk memastikan bahawa kalau adapun kos-kos tambahan disebabkan anjakan tarikh-tarikh SUKMA ini, mereka di peringkat Pusat akan membantu insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat.
Paloh jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Dua-dua ini bekas EXCO belaka (Dewan ketawa).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat juga YB EXCO, saya merujuk kepada situasi yang berlaku pada hari ini apabila kita melihat pandemik COVID-19 ini sebagai suatu precedent yang tak pernah berlaku pun sebelum ini dan juga we’re living in abnormal time, sepertimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Dan sebelum saya pergi kepada soalan, kita mengambil juga angka-angka yang telah disebutkan di Dewan yang mulia ini, iaitu dianggarkan Johor akan mengalami pengangguran di kalangan warganya dengan sejumlah 173,000 atau lebih pada masa-masa akan datang. Dan juga pakar ekonomi Singapura meramalkan 45,000 sehingga ke 200,000 akan diberhentikan kerja di Singapura bagi mereka yang tinggal di Johor ini. Jadi ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kita.
Soalan saya ialah apabila kita berdepan dengan situasi yang tidak pernah terjadi dan keadaan ini sangat gamat sekali, adakah di peringkat kerajaan negeri Johor pernah membincangkan berkaitan dengan meletakkan dahulu ke tepi keutamaan penganjuran SUKMA ini untuk kita memberi keutamaan ekonomi negeri ke arah kebajikan rakyat, khususnya apabila timbul isu-isu kehilangan pekerjaan, kemudian dan pelbagai lagi isu-isu ekonomi yang pada hemat saya menjadi lebih utama pada masa ini dan pakar yang mengkaji berkaitan dengan COVID-19 ini di dunia ini pun mengatakan paling-paling tidak dalam masa setahun ke dua tahun, kita akan berhadapan dengan situasi abnormal ini. Jadi adakah kerajaan negeri sekali lagi ada membincangkan tentang mengesampingkan terlebih dahulu...
Menangguhkan...
Menangguhkan SUKMA ini bukan setakat ke tahun depan bulan 3 atau bulan 7, tetapi sehinggalah keutamaan diberikan kepada isu-isu ekonomi rakyat di negeri ini.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Paloh atas soalan yang bernas itu. Perkara ini ada dibincangkan dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya kita pertimbangkan semua senario yang mungkin tetapi yang saya sebut tadi pada awal pembukaan jawapan saya kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat hampir RM617 juta satu angka yang sangat besar dan kita tidak mahukan, tidak mahukan bahawa infrastruktur yang telah kita bina di mana majoritinya sudah siap hampir dalam lingkungan 95 hingga 98%. Ada bangunan-bangunan pun yang dah siap macam YB Semerah sebut tadi, velodrom dan sebagainya.
Kita tidak mampu dan kita tidak mahu melihat bangunan-bangunan ini menjadi gajah-gajah putih. Pada masa sama di Johor sendiri ada 839 atlit dan di mana mereka semua sedang dilatih dengan gigih oleh MSNJ, Encik Gadaffie pun ada di sini dan mereka semua diberikan elaun ada yang sedang full time menjadi atlit. Ini menjadi sumber pendapatan untuk mereka Yang Berhormat. Jadi, walaupun itu satu cadangan yang boleh dan mungkin perlu kita pertimbangkan tapi bila kita tengok pro and con, elok kita teruskan SUKMA di negeri Johor pada tahun depan, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Stulang.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 6.
Apakah status perkembangan berkenaan dengan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di CIQ BSI?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Stulang. Laluan pejalan kaki di tambak Johor dicadangkan apabila ramai pengguna mengambil keputusan berjalan kaki sama ada ke Singapura atau ke Johor Bahru bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku di CIQ atau pun Bangunan Sultan Iskandar. Projek berkenaan telah dicadangkan kepada kerajaan persekutuan dan telah dibangkitkan dalam beberapa mesyuarat di peringkat persekutuan dan juga lawatan Menteri KDN ke CIQ baru-baru ini. Namun kerajaan negeri sehingga kini masih lagi menunggu kelulusan peruntukan dari Kementerian Dalam Negeri atau pun Kementerian Kerja Raya kerana pembinaan laluan itu akan dibuat di atas tambak Johor yang di selenggara oleh Lembaga Lebuhraya. So sehingga peruntukan itu di perolehi kita berharap melalui Dewan ini kerajaan negeri mengambil kesempatan supaya projek itu dipertimbangkan segera, terima kasih.
Ya Stulang, jemput soalan tambahan.
Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Jadi untuk makluman laluan pejalan kaki berbumbung ini merupakan satu projek yang dinanti-nantikan oleh mereka yang kerap menggunakan Tambak Johor. Jadi memanglah semua orang berharap dan saya berharap pihak EXCO, MB dan BPEN dan
juga kerajaan persekutuan boleh meneruskan usaha ini untuk mengerakkan projek ini agar tidak tergugur dan mengapa saya sentiasa merayu agar projek ini perlu dipercepatkan terutamanya semasa PKP ini. Semasa PKP di mana tambak Johor adalah orang yang menggunakan tambak Johor adalah kurang. Jadi sekiranya projek ini boleh dilaksanakan sekarang ataupun dalam masa terdekat ini ia boleh, satu menjimatkan kos, menjimatkan masa dan juga adalah lebih selamat kerana tiada orang yang menggunakan tambak Johor adalah kurang.
Jadi soalan saya, soalan tambahan saya adalah untuk laluan pejalan kaki ini adakah kerajaan akan berbincang dengan pihak Singapura agar pihak Singapura juga boleh membina laluan pejalan kaki berbumbung di sebelah sempadan Singapura kerana cadangan asal kita adalah laluan pejalan kaki berbumbung ini adalah sampai ke separuh Tambak Johor saja. Jadi adakah kalau boleh kita berbincang dengan pihak Singapura, agar Singapura juga boleh membina dari separuh tambak Johor sehingga sampai ke Woodlands untuk melengkapkan laluan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor ini?
Terima kasih, jemput YB EXCO.
Terima kasih Stulang kerana begitu prihatin dan beliau pun bersama saya pernah mengadakan lawatan ke tambak Johor. Memang sesungguhnya kerajaan negeri berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dan kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan yang kosnya menelan belanja RM30 juta bagi membina kemudahan ini dan pihak Singapura telah menyatakan kepada saya kepada kerajaan negeri mereka berminat untuk membina juga laluan berkenaan di sempadan Singapura. Dan pastinya sekiranya kita ada peluang untuk berbincang kita memang sentiasa berbincang untuk menambah baik kemudahan di tambak Johor termasuk juga laluan pejalan kaki berbumbung. Terima kasih.
Soalan seterusnya, silakan Yang Berhormat Machap.
Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 7.
Apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha menangani masalah bau dan lalat berpunca daripada ladang ternakan ayam?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih di atas soalan daripada Yang Berhormat Machap. Untuk makluman Dewan yang mulia ini demi kebajikan rakyat dan masyarakat keseluruhannya dalam negeri Johor kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan kacau ganggu dari segi pencemaran bau dan lain-lain daripada pengusaha-pengusaha ternakan walaupun realitinya industri ternakan ayam merupakan industri yang besar dalam negeri Johor. Negeri Johor mengeluarkan daging dan telor ayam 1/3 daripada pengeluaran negara. Kadar sara diri ayam pedaging sebanyak 197.7% manakala SSL untuk telor ayam adalah 206.12%.
Pada tahun 2019 telah melihat ke Singapura sebanyak 121,108.06 matriks tan ayam daging dan 31,346,94 matriks tan telor ayam ke negara tersebut. Jumlah ladang yang berdaftar dengan jabatan pada tahun 2020 adalah sebanyak 755 buah ladang dan berdasarkan perlesenan ladang unggas 2020 sebanyak 711 buah ladang telah dilesenkan dengan pecahan sebanyak 152 ladang tertutup dan 559 buah ladang terbuka. Sebanyak 21 buah ladang belum dilesenkan pada tahun ini kerana dalam proses ke arah reban tertutup atau
sedang membuat penambahbaikan. Semenjak 23 buah ladang telah diarahkan tutup pada 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker, jabatan sentiasa mengambil memberi khidmat nasihat dan ceramah dan pengajaran kepada penternak-penternak dalam setiap tahun untuk memberi kefahaman dan teknologi terkini pengurusan tinja dan kumbahan daripada ladang ayam. Jabatan juga menggesa penternak berubah kepada sistem reban tertutup dan memohon permit khas dan kebenaran merancang. Penekanan tentang pengurusan tinja dan kolam kumbahan turut dimasukkan dalam syarat-syarat tambahan lesen yang perlu dijalankan oleh penternak. Yang Berhormat Tuan Speaker, pada tahun 2012 pihak jabatan telah mengujudkan satu unit yang dinamakan RAPID incentive ataupun RAT.
Bagi menangani isu masalah lalat di ladang penternakan unggas manakala bagi susur kacau ganggu lalat di lapangan Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan turut melaksanakan semburan di tempat-tempat awam. Dan ini sebenarnya diwujudkan di setiap daerah. Pelaksana permit khas atau untuk aktiviti ternakan ayam di atas tanah yang tidak yang tiada kategori atau kategori pertanian telah dikuatkuasakan mulai September 2019, kemudiannya dilanjutkannya hingga 30 Jun 2020 untuk penternak memohon permit khas ternakan ayam atau pun PTKA. Pejabat Tanah dan Galian juga dalam tindakan untuk menambah baik prosedur permohonan permit khas ternakan ayam PTKA. Tempoh 3 + 2 tahun diberikan kepada penternak reban terbuka untuk berubah ke reban tertutup.
Pada masa yang sama Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak jabatan juga menitikberatkan hal berkaitan pengurusan tinja dan mengenakan syarat-syarat tambahan kepada penternak-penternak unggas.
Pertama, sisa buangan perlu dikeluarkan setiap minggu bawah daripada 12 hari, sebelum 12 hari daripada ladang, tempat penyimpanan bangsal kompos atau proses baja kompos.
Yang keduanya, elakkan tempat pembuangan pengumpulan sisa buangan berdekatan punca air bagi mengelakkan pencemaran air berlaku.
Pada masa yang sama juga dalam hal pengendalian sisa ayam penelur, sisa buangan jatuh ke atas pelapik dan dikeringkan secara semula jadi. Yang kedua, sisa buangan ayam dikeluarkan dari ladang setiap hari ke tempat penyimpanan untuk proses pengkomposan. Dalam hal urusan pengendalian ayam pedaging pula kita memperkenalkan dan menganjurkan agar diwujudkan reban tertutup. Ianya perlu dibersihkan pada setiap satu kitaran pengeluaran iaitu 30 hingga 40 hari. Yang keduanya, mengandungi pelembapan dan perlu mempunyai sistem yang sesuai, untuk mengurangkan pencemaran bau serta pembiakan lalat.
Yang ketiganya, pengudaraan adalah sangat penting dan ia perlu diadakan dengan kesesuaian yang ada dan melalui dinding terbuka untuk menggunakan alat mentalasi.
Untuk reban terbuka ianya mestilah perlu kerap dibersihkan kurang daripada 2 minggu untuk memutuskan kitaran hidup lalat supaya tidak membiak. Yang keduanya, adalah penggunaan mikro efektif ataupun EM habuk dan abu kayu boleh dipraktikkan untuk membantu dan mengawal pembiakan lalat di ladang ternakan. Pada masa yang sama Tuan Speaker penggunaan teknologi biogas, ini adalah kawalan pencemaran terutamanya air buangan ataupun bau dan ia adalah proses penguraian bahan organik secara anaerobic ataupun tertutup di dalam tangki pencemaran digester. Ini adalah di kalangan agar tidak ada kacau ganggu dari segi bau yang disebabkan oleh penternak-penternak khususnya peserta ayam dalam negeri Johor Darul Ta’zim. Terima kasih.
Jemput Machap.
Terima kasih kepada Tuan Speaker, terima kasih kepada EXCO menjawab soalan saya berkaitan dengan usaha-usaha yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah kacau ganggu lalat dan bau. Untuk pengetahuan di Simpang Renggam ada lebih kurang 42 pengusaha ladang ternakan ayam, jadi Machap sahaja ada 20 pengusaha ladang ternakan ayam yang melibatkan ladang ternakan ayam daging baka dan penelur. Walaupun kebanyakan daripada pengusaha ladang ternakan ayam ini menjelaskan bahawa mereka beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan tetapi masih lagi terdapat kacau ganggu dari segi bau dan juga lalat kepada penduduk di persekitaran. Jadi apakah tindakan yang lebih tegas yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih soalan tambahan. Untuk makluman jabatan telah pun melaksanakan lawatan bersepadu ke reban-reban ayam di kawasan Machap yang melibatkan Pejabat Daerah Kluang, Pejabat Tanah Kluang, BAKAJ, Majlis Daerah Simpang Renggam, PLAN Malaysia dan Jabatan Pertanian di sekitar Machap pada 1 hingga 3 September 2020. Lawatan ini dijalankan bagi membolehkan setiap agensi mengambil tindakan di bawah kuasa masing-masing. Setiap agensi juga telah bersetuju agar lawatan bersepadu ini dijalankan secara berkala pada setiap bulan, setiap 3 bulan.
Lawatan dijalankan di atas 20 buah ladang di sekitar Machap. Hasilnya, hasil kepada lawatan ini, 14 buah ladang dilaporkan tiada kemasukan ayam, 4 buah ladang tiada kemasukan ayam, 4 buah ladang tiada kemasukan ayam kerana dalam proses ke arah reban tertutup, 1 buah ladang mempunyai ayam berumur 14 hari dan 1 buah ladang didapati cuba untuk membuat pelepasan efluen. Namun, tindakan serta merta memastikan punca efluen ditutup oleh pengusaha telah diambil tindakan dan pada masa yang sama mereka berpuas hati dengan keadaan yang ada.
Pada masa yang sama juga, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin maklumkan bahawa penguatkuasaan undang-undang juga dijalankan bagi urusan untuk mempastikan bahawa kurangnya mengurangkan dan meniadakan kacau ganggu dari soal bau. Apabila merujuk kepada Enakmen dan Perlesenan Ladang Penternakan Unggas 1997, Bahagian 4 Kesalahan-Kesalahan, Perkara 16 Bahagian 1, adalah menjadi kesalahan bagi pemegang lesen sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja membuang mana-mana karkas unggas, awful ataupun sisa unggas atau melepaskan sisa kumbahan unggas yang tidak dirawat di dalam mana-mana sungai, anak sungai, air parit dan juga saluran pengairan.
Yang keduanya, seseorang pemegang lesen adalah dianggap telah membuang karkas unggas, awful, sisa unggas atau melepaskan sisa kumbahan unggas ke dalam sungai, anak sungai, parit air, darat atau saliran pengaliran, jika dia gagal mengambil sebarang tindakan pencegahan atau usaha untuk mencegah pelepasan atau buangan itu. Bahagian 17 juga, Bahagian 1 menyatakan seseorang pemegang lesen hendaklah mengambil langkah-langkah atau usaha-usaha tertentu bagi mencegah pelepasan atau mengeluarkan bau-bauan atau gas tidak enak dan busuk daripada ladang unggas yang menyebabkan kacau ganggu kepada orang awam.
Pada masa yang sama juga, Yang Berhormat Dato’ Speaker, Tuan Speaker, pihak kerajaan juga melalui Enakmen ini menyatakan jika pengarah menerima sebarang aduan dari mana-mana orang atau badan bahawa sesuatu ladang unggas itu melepaskan atau mengeluarkan bau atau gas yang tidak enak, busuk atau menyebabkan kacau ganggu kepada awam, Pengarah hendaklah menyebabkan satu siasatan dibuat mengenai aduan tersebut. Bahagian 18, Perkara 18, Perenggan 1, seseorang pemegang lesen hendaklah menjaga
dan menyenggara kebersihan ladang unggasnya pada setiap masa dan hendaklah mengambil langkah-langkah untuk mencegah mana-mana keadaan yang menggalakkan pembiakan lalat, serangga dan makhluk perosak yang boleh menjadi punca kemudaratan kesihatan dan kacau ganggu.
Bahagian 2, Perkara Kali Kedua adalah menjadi kesalahan kepada pemegang lesen sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja atau membenarkan atau menyebabkan dibenarkan ladang unggasnya berada dalam keadaan tersebut yang melanggar Sub Seksyen 1. Jika penternak didapati melakukan kesalahan, kompaun bernilai maksimum RM2,000.00 serta notis tunjuk sebab akan dikeluarkan dan penternak perlu mengemukakan laporan penambahbaikan dalam tempoh 30 hari. Sekiranya penambahbaikan gagal dilakukan, tindakan penarikan balik lesen akan dilaksanakan. Bagi kesalahan yang berulang, saman Mahkamah akan dikenakan tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau keduanya. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya, Skudai.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, isu ini selalu kita lihat perkara ini boleh diselesaikan dengan adanya pelaburan ke dalam apa tu, teknologi tinggi, bagaimanapun, walaupun kita tahu pendekatan dia atau cara penyelesaian masih lagi masalah ini berleluasa atau masalah ini masih lagi berlarutan. Jadi, antaranya adalah apabila pengusaha-pengusaha ladang ni apabila mereka ingin membuat pelaburan ke atas teknologi ini mereka ada menghadapi kekangan lain ataupun masalah lain seperti kadang kala mereka menghadapi masalah hak milik ladang mereka ataupun syarat guna tanah untuk ladang mereka tidak memadai apa syarat terbaru, syarat guna tanah terbaru untuk mengizinkan pengusaha-pengusaha ladang ini membuat apa tu, pelaburan yang bernilai kadang berpuluh juta ringgit dan saya lihat apabila Yang Berhormat EXCO tadi kata usaha kerajaan adalah ambil tindakan penguatkuasaan tapi untuk kategori ini mereka sebenarnya bukan perlukan penguatkuasaan, mereka perlukan bantuan dan khidmat nasihat untuk bagaimana mereka boleh terus rasa selamat dan secure dengan izin atau ada jaminan untuk membuat pelaburan ke atas teknologi.
Soalan dia?
Soalan dia adalah, adakah kerajaan bersedia untuk membantu selain daripada menguatkuasa untuk menangani isu-isu yang berlaku pada hari ini?
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Skudai. Satu perkara yang baik diketengahkan. Sukacita dimaklumkan bahawa kita tidak, memang tidak berkompromi kepada mana-mana pihak yang menyebabkan kacau ganggu, kerana kepada kita adalah kita mementingkan kebajikan dan juga hal ehwal masyarakat keseluruhannya. Dalam hal ini, pihak kerajaan telah pun mencadangkan kepada mereka, pertama adalah untuk menukar daripada reban terbuka kepada reban tertutup.
Saya faham tentang masalah yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha dalam urusan untuk membuat reban tertutup mereka terpaksa mendapatkan kebenaran dan mendapatkan KM (Kebenaran Merancang) daripada pihak jabatan yang berkenaan dan pada masa yang sama juga mereka harus menukar kepada ubah syarat yang mengikut ketentuan. Perkara ini adalah penting untuk mempastikan agensi-agensi yang terlibat melihat kepada tapak tersebut sebelum kebenaran diberi.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan melalui PTG juga melihat dan jabatan melihat kepada soal kos yang terlibat dalam urusan ini. Soal kos sahaja tetapi soal ubah syarat, syarat mesti ikut dan ianya tidak berada dalam contohnya dalam tadahan air dan kawasan-kawasan yang berdekatan dengan penduduk sebenarnya mesti diikuti tetapi pada masa yang sama kita akur kerana melihatkan kepada urusan untuk menukarkan reban terbuka kepada reban tertutup ini kosnya begitu besar. Jadi, kita tidak mahu charges, any charges dengan izin yang dirasakan bahawa tidak relevan dan membebankan ianya dikurangkan di masa hadapan. Itu sahaja yang boleh bantuan pada kerajaan tetapi pada masa yang sama kita juga meminta para pengusaha untuk melihat tentang kebajikan dan susun atur reban masing-masing agar ia tidak menyebabkan masalah, kalau tidak ada masalah, tidak apa pun, tidak ada masalah, sedangkan industri ini menyumbangkan hasil yang besar kepada pihak kerajaan dan negara. Terima kasih Yang Berhormat.
Jam hampir 11.00 pagi sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita tangguhkan Persidangan sehingga pukul 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Soalan-Soalan Bertulis.Questions
Jawapan-jawapan kepada Soalan Bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Perbahasan itu disambung sekarang. Jemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Buluh Kasap, daripada Bukit Pasir, Johor Lama, daripada Mengkibol, Bukit Batu dan juga Kota Iskandar. Hujahan dan saranan Yang Berhormat amat dipandang serius oleh pihak kerajaan negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan rasa rendah diri, patik menjunjung setinggi kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim atas kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk mengurus tadbir kerajaan negeri. Patik dan semua jentera pentadbiran negeri akan menjalankan tugas dan amanah dengan sebaik mungkin dan sentiasa menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta menerima nasihat-nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya telah katakan ketika pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor, bahawa permasalahan yang dihadapi kita sekarang tidak pernah dialami sebelum ini. Our predicament is beyond comprehension, no one knows the end of it and no one have the right prediction to solve it, dengan izin. Permasalahan kita ini menjangkaui kefahaman konvensional, kita tidak tahu bila ia berakhir. Meskipun ramai ahli-ahli akademik, ahli-ahli ekonomi meramalkan dengan pelbagai ramalan, jujurnya pengakhiran kepada COVID-19 tidak boleh dipastikan. Atas kejanggalan inilah, saya menyeru semua pihak untuk do the right thing, to do what is appropriate for Johor and its
people dengan izin. Dan selepas mendengar perbahasan-perbahasan daripada pembahas daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, saya percaya kita semua sudah cukup matang untuk mengutamakan kepentingan negeri melebihi kepentingan peribadi dan kepentingan blok kepartian.
Saya faham Ahli-Ahli Yang Berhormat semua inginkan kepastian, adakah kita benar-benar kuat dan bersedia untuk menghadapi the edge of uncertainty, dengan izin atau zaman ketidaktentuan masa hadapan. Ya, kita punya kekuatan, ya, kita punya kesediaan, ini kerana pertama, pengurusan fiskal kita yang amat baik. Kita telah berjaya melaksanakan konsolidasi fiskal kepada semua Pusat Tanggungjawab dan Pegawai Pengawal melalui semakan semula kepada Belanjawan 2020. Ini termasuklah menyusun dan menstrukturkan semula peruntukan mengurus dan pembangunan ke atas 52 Pegawai Pengawal dan 147 Pusat Tanggungjawab.
Kita telah berjaya juga meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan. Dan kita telah berjaya dalam mengenalkan dasar serta polisi yang bersesuaian mengikut konteks ekonomi semasa. Kita juga telah berjaya dalam mengenalkan dasar serta polisi yang bersesuaian mengikut konteks ekonomi semasa kita. Saya ambil maklum mengenai saranan Kota Iskandar untuk menggunakan rizab tunai kerajaan negeri. Kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan semakan semula Belanjawan Johor 2020. Kerajaan negeri menganggarkan akan berlaku defisit ke atas kedudukan kewangan negeri sebanyak RM134.36 juta. Defisit ini akan ditampung melalui rizab negeri yang sedia ada. Ini menunjukkan bahawa kita sedia tahu yang rizab negeri harus digunakan jika ianya perlu, itulah prinsip kita. Saya akui wujud propaganda-propaganda politik yang mengatakan kerajaan negeri tidak berani untuk menggunakan rizab negeri. Di sini, saya harap Ahli-Ahli Yang Berhormat faham, meskipun rizab negeri kita berada pada tahap yang memuaskan namun ia harus digunakan untuk program-program dan inisiatif yang tertumpu, inisiatif yang berfokus dan penuh bertanggungjawab, jangan asal guna dan asal buat. Jika pun Pakatan Harapan berhemah dalam perbelanjaan ketika mereka menjadi kerajaan dahulu ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Kerana konteks pada ketika itu berlainan daripada sekarang, bagai langit dan bumi. Dan kerajaan negeri juga bersetuju secara prinsip bahawa belanjawan Johor 2020 adalah belanjawan yang sewajarnya defisit. Kita akan gunakan segala sumber yang ada untuk recovery, recovery dan recovery, dengan izin.
Kedua Yang Berhormat Tuan Speaker, kekuatan kita dalam menghadapi COVID-19 adalah kerajaan negeri ingin memberi fokus yang serius kepada soal kemiskinan. We need to seriously approach poverty and overcome it. Dan usaha ini telah pun dilakukan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor. Usaha ini juga akan diteruskan, akan ditambah baik lagi. Antara inisiatif yang telah dilakukan adalah pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan, berupa barangan keperluan harian yang telah diperluaskan di seluruh negeri. Termasuklah kepada golongan sasar dalam kalangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam senarai e-kasih sebagai asnaf, sebagai Orang Kurang Upaya, masyarakat Orang Asli dan golongan yang hilang pekerjaan. Kita juga telah membelanjakan sebanyak RM8.54 juta iaitu lebih tinggi berbanding peruntukan asal kerana kita memahami golongan sasar yang lebih meluas. Bantuan ini telah memanfaatkan sebanyak 86,100 penerima. Permohonan adalah berdasarkan senarai penerima bantuan sedia ada dan juga berdasarkan permohonan yang telah diterima oleh Pejabat-pejabat Daerah.
Antara inisiatif juga termasuklah pelaksanaan Bantuan Tunai Ihsan Johor yang telah memanfaatkan seramai 41,565 daripada keseluruhan pemohon. 36,345 pemohon adalah penerima bantuan RM250.00 dan 3,220 pemohon adalah penerima bantuan RM500.00. Saya akui wujud banyak penambahbaikan yang boleh kita buat. Bantuan Tunai Ihsan Johor ini merupakan kali pertama dilakukan. Ini adalah kali pertama dilakukan juga dengan skala yang begitu besar. Maka data dan informasi penerima yang sahih amatlah sukar untuk diperolehi. Selain itu, wujud juga keperluan untuk kita mengkategorikan semula klasifikasi
B40 dan M40 mengikut konteks ekonomi semasa. Kita tidak boleh 100% bergantung kepada klasifikasi yang lama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pokoknya Johor is committed in managing poverty, dengan izin. Pandemik ini bukan sahaja telah mengganggu momentum aktiviti ekonomi negeri, namun ia telah menunjukkan sisi sebenar kemiskinan yang selama ini sudah berakar dalam masyarakat. Kita juga mahu terus membela dengan izin, the most vulnerable segment of the society atau segmen masyarakat yang paling terdedah kepada keadaan ekonomi sekarang. Atas sebab itu juga pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan akan terus dilaksanakan. Dalam masa terdekat Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) akan membekalkan lebih 30,000 bakul makanan asas yang bernilai RM100.00 bagi setiap bakul makanan.
Kerajaan negeri akan membuat penyelarasan bersama-sama dengan Pejabat-pejabat Daerah serta agensi-agensi yang berkaitan bagi urusan pengagihan kepada penerima yang mana kumpulan sasar bagi program-program ini adalah golongan miskin dan miskin tegar termasuklah golongan yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Butiran-butiran selanjutnya berkenaan program ini akan saya umumkan kelak.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bukan itu sahaja, penglibatan pelbagai GLC, Government Link Company, dengan izin, dalam membantu memulihkan ekonomi kita melalui Corporate Social Responsibility (CSR), perlu juga diketengahkan. Antaranya ialah Johor Corporation (JCORP) dan Iskandar Regional Authority (IRDA). Pihak JCORP telah melakukan inisiatif seperti yang pertama, bantuan berjumlah RM3 juta bagi membiayai pembelian 20 unit bantuan pernafasan (RVM) untuk keperluan pesakit di Unit Rawatan Rapi. Dana diuruskan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah berkenan menyerahkan 42 unit RVM kepada pihak hospital-hospital di seluruh negeri Johor. Bantuan disumbangkan oleh JCORP bersama Kulim Berhad, KPJ Healthcare Berhad, QSR Brand Holding Berhad, Johor Land Berhad, Damansara Asset Sdn. Bhd, Damansara Reit Managers Sdn. Bhd. dan Waqaf Annur Corporation Berhad.
Kedua, bantuan berjumlah RM727,849.00 dalam bentuk barangan juga telah diberikan oleh Kulim, JLand, KPJ Healthcare, QSR, Damansara Asset dan Kara Holding (KARA). Sumbangan adalah dalam bentuk Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital seperti termometer, produk nanas Melita, set hidangan KFC dan Pizza Hut serta produk Ayamas kepada pasukan petugas hadapan. Manakala Iskandar Regional Development Authority (IRDA) pula telah menjalankan pelbagai inisiatif seperti inisiatif IM Makmur iaitu program pemerkasaan golongan sasar yang melibatkan 3 skim bantuan, iaitu latihan untuk penjanaan pendapatan, bantuan pendidikan generasi kedua dan dana untuk NGO untuk menjalankan projek-projek bersama golongan sasar dengan peruntukan sebanyak RM6 juta. Peruntukan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berada di dalam kawasan IRDA.
Kedua inisiatif IM Urban Farming, ianya adalah projek pertanian bandar secara berkumpulan dengan konsep farm to eat dan farm to sell. Projek ini telah secara langsung telah membantu mengurangkan kos sara hidup mereka yang berada di kawasan bandar. Antara komuniti yang dikenal pasti dalam inisiatif ini adalah Kawasan Rukun Tetangga Bandar Baru Uda, Kawasan Rukun Tetangga Presint Bakti, Kawasan Rukun Tetangga Flat Sri Stulang dan Pertubuhan Komuniti Jentayu Kangkar Pulai.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memahami kekecewaan Kota Iskandar. Saya sedar bahawa banyak perkara yang boleh diperbaiki terutama sekali karenah birokrasi dalam proses permohonan, pengurusan data dan pemberian Bantuan Tunai Ihsan Johor mahupun Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri Pertama ataupun Siri Kedua. Kerana itulah
ada 2 langkah yang sedang dan terus diambil oleh kerajaan negeri dalam meminimumkan karenah birokrasi.
Pertama, Pendigitalan Sistem Penyampaian Kerajaan Johor harus diperkemas, diperkuat dan disebarluaskan. Untuk itu Johor Digital Master Plan seperti dalam Ikhtiar Kedua, 7 Ikhtiar Makmur perlu dilaksanakan segera dan ia akan dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak pemegang taruh.
Kedua, kerajaan negeri di bawah pentadbiran saya mengamalkan sistem dan budaya kerja berdasarkan Key Performance Indicator (KPI). Objektif KPI adalah untuk mengukur keberhasilan inisiatif atau program di dalam Belanjawan 2020. Kesemua KPI ini harus dicapai oleh para EXCO dan jabatan-jabatan berkaitan di bawah portfolio mereka. Sistem dan budaya kerja seperti ini jelas sekali telah memutuskan pelbagai jenis karenah birokrasi. Namun ianya baru bermula dan banyak lagi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan. Sistem dan budaya kerja ini berdasarkan pendekatan 5 langkah untuk agenda kepimpinan berprestasi.
Langkah tersebut adalah :
1. Pemetaan, hala tuju strategik seperti bajet tahunan atau lain-lain pengumuman
termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2 dan 7 Ikhtiar
Makmur Johor.
2. Penetapan iaitu setiap EXCO perlu mengambil pemilikan daripada Titik Fokus Bajet
untuk merangka KPI masing-masing, kemudian harus dibentangkan kepada saya.
3. Pelaksanaan.
4. Pemantauan dan juga pelaporan iaitu EXCO perlu menyediakan laporan KPI setiap
suku tahun yang berakhir pada bulan Mac, Jun, pada bulan September dan juga
pada bulan Disember.
Pada masa yang sama, Johor Indeks Prestasi Sistem atau JIPS di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat merupakan platform yang disediakan untuk memantau pelaksanaan setiap Titik Fokus dan setiap Inisiatif yang dijalankan oleh jabatan-jabatan. Di sini dapat dilihat bahawa pengurusan kerajaan negeri dapat diurus dengan struktur yang lebih teratur di mana jabatan memperolehi hala tuju dan sasaran gerak kerja yang jelas melalui pelaksanaan KPI EXCO-EXCO. Sebanyak 125 daripada 180 Titik Fokus telah berjaya mencapai 50% hingga 85% pelaksanaan, setakat tempoh setengah tahun ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan perbahasan-perbahasan pada hari Khamis yang lepas, wujud ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dalam memperkukuhkan usaha mendepani keadaan ekonomi semasa:
1. Adalah mengenai fungsi Pihak Berkuasa Tempatan. 2. Adalah peranan aktif GLC, Goverment Link company. 3. Adalah pembukaan sepenuhnya sempadan Johor – Singapura.
Mengkibol telah berhujah mengenai peranan jabatan-jabatan kerajaan yang harus memberi bantuan dan bimbingan kepada peniaga dan pengusaha. Saya akui peranan Pihak Berkuasa Tempatan amat mustahak pada masa ini. Atas semangat itulah ketika saya melakukan lawatan kerja rasmi ke Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri tempoh hari, saya telah menyeru Pihak Berkuasa Tempatan untuk
memberikan peluang, ruang dan dukungan perniagaan kepada para peniaga kecil-kecilan. Cipta ruang perniagaan, cipta insentif-insentif untuk ibu-ibu tunggal dan para belia untuk meniaga dan mencipta pekerjaan. Kelulusan lesen-lesen perniagaan juga perlulah disegerakan. Sekarang bukan masa untuk menguatkuasa semata-mata. Ya, undang-undang perlu dipatuhi tetapi dalam konteks semasa Pihak Berkuasa Tempatan harus sentiasa mencari jalan untuk menyokong dan bukan menghukum. Seperti contoh, bagi peniaga kecil yang memohon lesen daripada pihak PBT, mereka mesti diberi kelulusan segera kalau dapat dalam tempoh 24 jam. Ataupun mereka diberi lesen sementara, inisiatif ini juga mesti dijalankan selepas tempoh PKP sebagai satu galakan kerajaan negeri untuk mereka.
Mengkibol juga mengetengahkan kekhuatiran beliau mengenai prestasi kewangan Government Link Companies serta peranan mereka dalam usaha pemulihan ekonomi negeri Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri sedang menjalankan kajian transformasi GLC-GLC. Latar belakang Kajian Transformasi GLC-GLC ini adalah :
1. Untuk meningkatkan nilai tambah GLC kepada kerajaan negeri. 2. Untuk memastikan strategi GLC selari dengan hasrat kerajaan negeri. 3. Menubuhkan satu bentuk struktur GLC yang lebih efektif dan efisien. 4. Mewujudkan satu rangka kerja dasar dan governance yang konsisten untuk semua
GLC. 5. Mengukuhkan dan membentuk satu rangka kerja pemantauan dan akauntabiliti dan; 6. Menaik taraf ketulusan hasil dan usaha setiap GLC yang terlibat.
GLC yang terlibat adalah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor, Permodalan Darul Ta’zim, Perbadanan Islam Johor Holdings dan Yayasan Pelajaran Johor Holdings termasuklah State Secretary Incorporated (SSI) sebagai institusi induk pelaburan kerajaan negeri Johor. Pemilihan GLC-GLC di atas adalah atas rasional. Ianya mempunyai kapasiti pelaburan yang paling besar kepada kerajaan ini. Selain itu, kapasiti dan struktur mereka harus dikukuhkan supaya dapat memberi upaya pelaburan yang lebih baik pada masa hadapan.
Saya turut berkongsi kekhuatiran yang dibahaskan oleh Ahli Yang Berhormat mengenai isu pembukaan sempadan Johor - Singapura. Antara perkara pokok yang menyebabkan kelembapan ekonomi Johor adalah tutupnya sempadan kita dengan Singapura, itu sahaja. Atas sebab itu juga, kerajaan negeri amat konsisten dalam menggesa kerajaan persekutuan agar membuka pintu sempadan kita dengan Singapura. Kita akui bahawa pembuat-pembuat dasar perlu mengimbangi di antara live and livelihood. Sama juga dalam hal pembukaan sempadan ini. Saya menyambut baik pendirian Yang Berhormat Menteri Kesihatan untuk menggandakan jumlah ujian swab di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan juga Peraturan Ulang Alik Berkala, Periodical Commute Arrangement (PCA). Apatah lagi untuk membuka sepenuhnya sempadan Malaysia - Singapura tertakluk atas protokol dan prosedur kesihatan tertentu. Bercakap tentang mengimbangi live and livelihood ini, Yang Berhormat Bukit Batu telah membangkitkan mengenai sekatan, blanket rule terhadap sektor hiburan. Sejujurnya, taman-taman tema keluarga telah dibuka seperti Legoland dan sebagainya kerana mereka boleh mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Pokoknya, jika industri itu boleh mematuhi SOP daripada Majlis Keselamatan Negara, maka tidak ada masalah untuk ia terus beroperasi dan tidak akan timbul isu seakan-akan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak kisah terhadap nasib industri berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan perbahasan pada hari Khamis yang lalu juga, wujud beberapa cabaran yang mendesak yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan. Pertama, adalah isu pengangguran dan kedua adalah isu moratorium. Isu pengangguran adalah isu nasional. Ia adalah isu global, ia juga adalah isu struktur ekonomi dan pasaran buruh atau labour market, dengan izin. Apatah lagi dalam konteks ekonomi masa sekarang. Iklim perniagaan yang kurang memberangsangkan dan
derasnya penggunaan teknologi, big data dan artificial intelligent menyebabkan pekerjaan yang wujud selama ini mungkin sudah tidak ada lagi sekarang. Ia diganti dengan pekerjaan baru yang memerlukan set kemahiran yang berlainan dari dahulu.
Untuk makluman semua, wujud beberapa inisiatif yang dijalankan oleh agensi dan pihak berkaitan dalam usaha untuk mengatasi isu pengangguran. Antaranya adalah pertama, Minggu Kerjaya Johor Tahun 2020 merupakan inisiatif Unit Strategik Modal Insan Johor dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja dan juga Jobs Malaysia Johor. Pencari kerja yang berminat untuk hadir ke sesi temu duga perlu membuat pra pendaftaran secara online. Hanya pencari kerja yang telah di senarai pendek sahaja akan dijemput untuk hadir ke tempat yang telah ditetapkan sama ada di Johor Bahru, Muar ataupun Kluang. Temu duga dijalankan secara janji temu pada 21 hingga 23 September 2020 ini serentak di ketiga-tiga lokasi iaitu di Dewan Muafakat UTC Johor Bahru, Dewan Maharani di Stadium Muar dan juga di Pejabat Tenaga Kerja Daerah Kluang.
Lebih 1,000 jawatan kosong telah ditawarkan dengan minimum kelayakan akademik SPM sehinggalah ijazah dengan penglibatan 30 majikan dari sektor pelbagai industri atau perniagaan seperti pembuatan, peruncitan, makanan dan perkhidmatan. Kedua, wajar untuk Dewan ini dimaklumkan mengenai data kekosongan jawatan di portal Jobs Malaysia. Setakat ini sebanyak 44,964 jawatan kosong yang terdapat portal Jobs Malaysia. Ia melibatkan 18 sektor industri yang menawarkan jawatan kosong mengikut Malaysia Standard Industri Classification. Jawatan-jawatan ataupun sektor yang ditawarkan termasuklah pertanian dan perhutanan serta perikanan dengan kekosongan sebanyak 5,548 jawatan. Sektor pembuatan sebanyak 26,137 jawatan. Sementara bagi sektor bekalan elektrik, gas dan pendingin udara terdapat 37 kekosongan. Bagi sektor bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan aktiviti pemulihan sebanyak 973 kekosongan. Sektor pembinaan 2,800 kekosongan sementara sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan motor dan motosikal sebanyak 362 kekosongan.
Selain daripada itu, kekosongan-kekosongan yang tertera dalam portal Jobs Malaysia termasuklah pengangkutan dan penyimpanan sebanyak 2,049 kekosongan. Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman 889 kekosongan. Sementara sektor aktiviti kewangan, insurans dan takaful sebanyak 636 kekosongan dan aktiviti-aktiviti perkhidmatan lain sebanyak 3,969. Meskipun begitu, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan sentiasa bekerja sama melalui agensi dan juga pihak-pihak berkaitan untuk memastikan kadar pengangguran di Johor berada pada tahap yang paling minima.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam masa terdekat tempoh moratorium bayaran pinjaman bank dan juga subsidi upah yang bakal tamat adalah dalam pengetahuan kerajaan. Namun begitu, kerajaan persekutuan akan memperkenalkan bantuan bank bersasar kepada individu yang kehilangan pekerjaan untuk tiga bulan dan mereka yang terjejas pendapatan untuk sekurang-kurangnya selama enam bulan. Lanjutan yang diberikan adalah tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu yang berkenaan. Bank Negara Malaysia juga telah melaporkan bahawa banyak peminjam yang awalnya memilih untuk menyertai moratorium ini telah mula menyambung semula pembayaran balik pinjaman. Kesemua inisiatif-inisiatif di atas adalah untuk membantu melancarkan aliran tunai individu dan para peniaga yang jelas terjejas akibat keadaan ekonomi semasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya percaya kerajaan yang ada ini tidak terlibat dalam perbincangan pindaan cukai tanah kerana kita sebagai pembangkang waktu itu dan kita tidak pernah terlibat dalam proses pindaan cukai tanah. Walaupun begitu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan yang telah dibuat di dalam Dewan yang mulia ini dan juga menyahut saranan Buluh Kasap untuk kerajaan mengkaji semula kadar cukai tanah yang telah menjadi terlalu tinggi oleh kerana keadaan ekonomi semasa. Maka itu, saya umumkan jumlah cukai tanah dikurangkan dalam bentuk rebat pada kadar
15% untuk tahun 2020, 10% pada tahun 2021 dan 5% pada tahun 2022. Perkara ini adalah bertujuan menyantuni keluh resah rakyat dan dalam masa yang sama pendekatan ini turut diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Tuanku. Saya sedar dan faham pemberian rebat ini akan mengurangkan hasil kepada kerajaan negeri pada tahap yang amat luar biasa.
Seperti yang semua tahu, sumbangan hasil daripada cukai tanah menyumbang hampir sebanyak 70% kepada pendapatan kerajaan negeri tetapi saya percaya semua ini adalah tindakan luar kebiasaan bagi memastikan keluhan semua pihak didengari dalam keadaan ekonomi semasa yang getir sekarang. Keprihatinan kerajaan atas kesempitan yang dihadapi oleh rakyat sesungguhnya difahami oleh kerajaan sejak bermulanya pandemik COVID-19 ini. Malah, pada bulan Mac lagi pemberian potongan 50% cukai tanah untuk tanah rizab Melayu bagi pemilik tanah yang memiliki tidak lebih daripada 5 hektar juga telah dilaksanakan dan diumumkan. Peluasan dari 4 hektar asalnya kepada 5 hektar bagi melayakkan pemotongan 50% cukai tanah secara langsung dapat meringankan beban masyarakat luar bandar khususnya di tanah rancangan FELDA.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma, kepada Kumpulan Wang Amanah Tabung Bencana Negeri Johor. Sehingga 7 hari bulan September 2020, Kumpulan Wang Amanah tersebut mencatatkan tabungan sebanyak RM29 juta dalam bentuk tunai. Selain itu, sumbangan juga diberikan dalam bentuk barangan dan peralatan kesihatan seperti Peralatan Perlindungan Diri (PPE), cecair pembasmi kuman dan juga pelitup muka. Terima kasih semua, Johor akan sentiasa mengingati sumbangan-sumbangan anda semua.
Yang Berhormat Tuan Speaker, jelaslah bahawa keadaan ekonomi semasa memerlukan dorongan, sokongan dan tujahan yang konsisten. Sama ada oleh pihak kerajaan, pihak GLC, Pihak Berkuasa Tempatan, badan-badan NGO dan para individu-individu. Usaha pemulihan ekonomi Johor tidak harus terhenti sekadar pakej-pakej rangsangan sahaja dan hasilnya kita tidak boleh mengharapkan berbuah dalam masa yang terdekat.
Seperti yang saya katakan pada Khamis yang lalu, jalan keluar dari permasalahan sekarang amatlah sukar dan berliku-liku. Namun, dengan dukungan semua pihak terutama sekali Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya percaya kita akan dapat tempuhinya bersama. Bagi mengakhiri penggulungan perbahasan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020, izinkan saya untuk mengatakan bahawa dan menyeru kepada Ahli Dewan marilah kita amalkan cara hidup ibarat resmi serumpun bak serai, sesusun bak sireh. We cannot be separated in interest or divided in purpose, we stand together until the end of COVID-19. Sekian, terima kasih.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju dijemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
RUNDINGAN MENGENAI PELANTIKAN PENGERUSI DAN AHLI-AHLI JAWATANKUASA KIRA-KIRA RAYA NEGERI, JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN DEWAN NEGERI, JAWATANKUASA PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN NEGERI.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan mengenai Pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Raya Negeri, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri, Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri. Pelantikan ini adalah bagi menggantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa ketiga-tiga Jawatankuasa. Mengikut Peraturan Tetap Bilangan 110(2), Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor, Jawatankuasa Kira-Kira Raya dianggotai oleh seorang Pengerusi dan tidak lebih daripada enam orang Ahli. Nama yang dicadangkan adalah seperti berikut :
Jawatankuasa Kira-Kira Raya.
Ahli-Ahlinya ialah:-
YB Dato' Ir. Syed Sis bin Syed A Rahman sebagai Pengerusi. 1. Yang Berhormat Dato’ Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain. 2. Yang Berhormat Tuan Haji Abd Taib bin Abu Bakar. 3. Yang Berhormat Tuan Hahasrin bin Hashim. 4. Yang Berhormat Tuan Haji Rasman bin Haji Ithnain. 5. Yang Berhormat Tuan Muhamad Said bin Jonit. 6. Yang Berhormat Tuan Tan Hong Pin.
Ahli turut hadir ialah Bendahari Negeri Johor dan Pengarah Audit Negeri Johor. Cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang Ahli.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri yang dilantik mengikut Peraturan Tetap Bilangan 103. Peraturan-peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor sebagaimana berikut :
Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri.
Ahli-Ahlinya ialah:-
Speaker Dewan Negeri sebagai Pengerusi. 1. Yang Berhormat Datuk Md. Othman bin Yusof. 2. Yang Berhormat Kapt (B) Haji Najib bin Lep. 3. Yang Berhormat Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian. 4. Yang Berhormat Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji Jamal. 5. Yang Berhormat Dato’ Che Zakaria bin Mohd. Salleh. 6. Yang Berhormat Tuan Jimmy Puah WeeTse. 7. Yang Berhormat Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib bin Ali.
Ahli turut hadir ialah Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri.
Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri.
Ahli-Ahlinya ialah:-
Speaker Dewan Negeri sebagai Pengerusi. 1. Yang Berhormat Dato’ Zahari bin Sarip. 2. Yang Berhormat Rashidah binti Ismail. 3. Yang Berhormat Tuan Haji Rosleli bin Jahari. 4. Yang Berhormat Puan Hajah Alwiyah binti Talib. 5. Yang Berhormat Dr. Sulaiman bin Mohd. Nor. 6. Yang Berhormat Tuan Gopalakrishnan a/l Subramaniam. 7. Yang Berhormat Dr. Ramakrishnan a/l Suppiah.
Ahli turut hadir ialah Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri. Dan cukup bilang bagi Jawatankuasa-Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang Ahli.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Oleh kerana nama-nama Ahli telah dicadangkan oleh pihak kerajaan dan Pakatan Harapan dan telah dipersetujui bersama, saya kira ia tidak perlu dibahaskan.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
Rundingan Mengenai Pemilihan Ahli Dewan Negara.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pemilihan Ahli Dewan Negara ini sebagaimana Seksyen 1(2) dalam Jadual Ketujuh (Perkara 45) Perlembagaan Persekutuan, berikutan kekosongan satu kerusi Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Dewan Negeri Johor. Dengan demikian cadangan itu hendaklah disokong dan disertai dengan kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh calon berkenaan menyatakan kesanggupan berkhidmat jika dipilih. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sila kemukakan cadangan sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan dan mencadangkan supaya Yang Berbahagia Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan dipilih oleh Dewan ini menjadi Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun. Tuan Haji Jefridin bin Haji Atan seorang anak jati Pontian yang berumur 52 tahun ini berpengalaman luas dalam bidang politik serta memainkan peranan aktif menyampaikan pelbagai isu kepada agensi kerajaan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian di Universiti Malaya pada tahun 1991 dan Diploma Pendidikan juga di Universiti Malaya. Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Siswazah dari tahun 1999 sehinggalah tahun 2005. Seterusnya, beliau bertugas sebagai Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas kepada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi bermula pada tahun 2001. Hingga kini dalam bidang politik, beliau amat aktif memberikan khidmatnya menerusi Parti UMNO dan kini telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai. Beliau amat aktif di dalam bidang bukan kerajaan, dalam bidang badan bukan kerajaan, NGO dan kesukarelawanan. Beliau pernah bergiat aktif sebagai Yang Dipertua Majlis Belia Daerah Pontian, Ahli Majlis Permuafakatan Belia Johor dan Majlis Belia 4B Daerah dan negeri Johor.
Sehingga kini beliau aktif sebagai Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi). Juga sebagai penaung Pertubuhan Silat Kebangsaan (Pesaka) Daerah Pontian dan seorang ahli sukarelawan RELA di Pontian. Berdasarkan pengalaman dan komitmen yang ada pada beliau, saya mencadangkan Yang Berbahagia Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan dipilih oleh Dewan ini menjadi Ahli Dewan Negara. Dengan ini saya serahkan pengakuan bertulis yang telah pun ditandatangani oleh calon yang saya cadangkan itu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada perbahasan saya membenarkan dua orang sahaja untuk berbahas. Masa diberi masa lima minit. Jemput, jika ada.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Yaani tidak berhasrat menolak cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar memandangkan situasi semasa negara yang masih berdepan dengan ancaman COVID ini, maka negara memerlukan Senator yang boleh memberikan nilai tambah dalam menghadapi situasi yang ada pada negara kita terutamanya mewakili negeri Johor yang telah berpengalaman ataupun terlibat dalam beberapa isu yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan rakyat negeri Johor.
Justeru itu Parit Yaani mencadangkan nama kedua walaupun mungkin kerana kami di pihak PH tidak dapat maklumat tentang penamaan untuk mendapatkan nama lebih awal tapi kami memberikan pandangan, cadangan kepada Dewan seandainya difikirkan lebih baik calon yang kedua ini untuk mewakili negeri dalam suasana negeri memerlukan seorang Senator yang berwibawa, berintegriti dan berpengalaman luas dalam bidang perubatan. Mampu memberikan pandangan dan cadangan, bukan sekadar dalam negara malah peringkat antarabangsa. Mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidangnya serta komited terhadap tugas waktu menjadi kakitangan kerajaan atas kepentingan rakyat dan negara. Sebelum bersara beliau telah terlibat secara langsung mengendalikan kes pencemaran Sungai Kim Kim sebagai Pengarah Kesihatan Negeri Johor. Jadi, saya mohon supaya mantan Pengarah Kesihatan dapat menyatakan nama yang berkenaan. Sekian, untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pandangan Parit Yaani tadi berkenaan dengan satu nama lain, nama yang kedua lah ya, seharusnya masuk di dalam usul seperti mana yang dikemukakan oleh pihak kerajaan. Jadi rundingan atau usul ini telah dibawa oleh pihak kerajaan, ada satu nama sahaja. Jadi nama ini sahajalah yang diangkat sebagai cadangan dalam sidang kali ini untuk jawatan Ahli Dewan Negara ini.
Ok, jadi rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan.
Yang Berhormat, boleh saya bagi pandangan Yang Berhormat Tuan Speaker sedikit mengenai isu ini. Ok, walaupun tadi..
Terima kasih, Yang Berhormat, saya nak tanya ini dalam Peraturan mana pandangan ini?
Dia perbahasanlah ini.
Perbahasan satu sahaja tadi dibenarkan..
Dua, dua.
Dua, satu dari pihak kerajaan.
Saya tidak akan kemukakan apa-apa. Dua orang. Tak apa kita bagi ruang dahulu sedikit. Ok.
Tak ada, Yang Berhormat kena adillah, kalau sana satu sepatutnya sini satu tapi dah pergi pada rundingan ini dah buat permohonan nak dapatkan keputusan. Dia dah peringkat keputusan ini.
Tak apa kita bagi ruang. Silakan.
Tak ada, kena ikut peraturanlah. Kalau dah ada..
Tapi awak tak berdiri.
Saya sebut dua sahaja. Tak ada sebut daripada mana. Dua, silakan.
Assalamualaikum Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih. Saya ingin menyokong cadangan daripada Yang Berhormat
Parit Yaani di mana di sini kita mengusulkan nama Doktor Sallehudin bin Abdul Aziz, mantan Pengarah Kesihatan Negeri Johor. Untuk makluman semua dan makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, beliau berasal daripada Muar, anak jati Johor dan mempunyai pengalaman mengendalikan dua kes besar di negeri Johor iaitu pencemaran Sungai Kim Kim dan juga isu pencemaran Taman Mawar.
Untuk makluman semua, di Dewan Negara sekarang ini kita ada 2 orang Doktor Perubatan.
Yang Berhormat, saya dah sebut tadi, nama itu tidak boleh dikemukakan sekarang. Maknanya cadangan itu tidak boleh diterima dalam Dewan, hanya satu nama sahaja. Jadi, Yang Berhormat hanya boleh hanya bersetuju ataupun menolak sahaja.
Saya menyokong cadangan Parit Yaani. Terima kasih.
So, nama tidak boleh dikemukakan pada waktu ini. Terima kasih. Ok.
Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Speaker.
Selesai dah Yang Berhormat.
Dengan demikian, saya isytiharkan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan adalah dipilih oleh Dewan Negeri ini menjadi Ahli Dewan Negara bagi tempoh selama 3 tahun. Saya bagi pihak Dewan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Haji Jefridin bin Haji Atan. Semoga beliau dapat menumpukan khidmatnya kepada rakyat dan negeri sebagai Ahli Dewan Negara.
Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker,saya mohon membawa Rundingan supaya Dewan ini serta-merta berpindah menjadi Jawatankuasa Bagi Keseluruhan Dewan Negeri untuk menimbangkan Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2020 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bilangan 5 Tahun 2020 dan memperakukan sama ada peranggaran itu patut diluluskan oleh Dewan ini dengan dipinda atau tiada dipinda.
Tambahan Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM18,801,000.00 dan diletakkan di bawah Jawatankuasa seperti berikut :
Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, RM18,801,000.00. Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju,jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM18,801,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.74, Jabatan Kerja Raya dipersetujukan.
Terima kasih. Permohonan peruntukan tambahan yang dimohon oleh Jabatan adalah sebanyak RM23,940,456.79. Namun, kelulusan yang diterima daripada Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor adalah sebanyak RM18,801,000.00. Permohonan tambahan ini adalah bagi menampung keperluan peruntukan sedia ada yang tidak mencukupi untuk bayaran projek-projek di bawah bangunan-bangunan seperti yang tersenarai bersama saya. Terima kasih.
Ok. Perkara itu dikemukakan.
Peraturan-peraturan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Skudai mohon untuk membahaskan rundingan ini. Yang Berhormat Tuan Speaker.
Yang Berhormat, Jawatankuasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Peraturan. Kita sekarang ini berada dalam peringkat Jawatankuasa dan di dalam Peringkat Jawatankuasa tidak kita membahaskan...
Soalan sahaja boleh.
Cuma boleh memohon penjelasan atas perkara-perkara. Jadi, Yang Berhormat minta maaf saya kerana di peringkat Jawatankuasa ini kita membawa maksud Pembangunan P74, Jabatan Kerja Raya yang memerlukan tambahan peruntukan sebanyak RM18,801,000.00 untuk menampung keperluan perbelanjaan yang kekurangan perbelanjaan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan-bangunan negeri sepertimana yang dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO Kerajaan.
Bukan perbahasan. Perbahasan ini adalah bentuk dasar tetapi ini adalah tentang soalan berkenan butiran-butiran.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kalau ikut Peraturan Tetap. Jawatankuasa pun dibenarkan untuk perbahasan.
Yalah dalam bentuk soalan.
Perbahasan dia berkaitan dengan fasal yang perlu dibincangkanlah. Jadi, belum lagi saya masuk perbahasan bagaimana Tuan Speaker boleh tahu saya nak bahas tentang dasar.
Ok kemukakan. Tapi bukan peringkat dasar ya.
Saya faham, saya faham, saya faham. Yang Berhormat Tuan Speaker. Sekarang ni kita membincangkan Peranggaran Tambahan Pembangunan, ini satu perkara yang jarang-jarang berlaku di dalam Dewan yang mulia ini. Di mana selalunya Peranggaran Tambahan adalah Perbekalan. Bagaimanapun kita selalunya dalam Bajet yang kita buat pada hujung tahun sebelumnya segala projek-projek untuk peranggaran untuk perbelanjaannya adalah melalui satu proses penghitungan yang begitu jitu. Jadi, untuk amalan yang agak luar biasa ini saya mohon Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya untuk memberi pendetailan bagaimanakah angka RM18 juta dibentangkan dan apakah punca-punca yang menyebabkan ada kesuntukan dana yang berlaku sehingga kita terpaksa membentangkan peranggaran tambahan ini?
Ok, jemput. YB EXCO.
Seperti telah dinyatakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa projek ini adalah penting dan sebahagiannya telah dilaksanakan. Antaranya ialah sebahagian besar projek ini adalah untuk rakyat dan kemudahan rakyat. Cadangan mereka bentuk dan menyiapkan garaj kemudahan berkaitan dengannya di Taman Pelangi; Cadangan menaik taraf,membaiki dan memperelok Pejabat Pentadbiran Daerah Mersing; Kerja-kerja penyelenggaraan bangunan utama kerajaan negeri JKR di Johor Bahru; Kerja-kerja penyelenggaraan, perpaipan bangunan-bangunan utama kerajaan negeri JKR di Johor Bahru; Kerja-kerja Penyelenggaraan rumah pekerja kuarters di Kulai; Kerja-kerja menebang dan memangkas dahan-dahan pokok di bangunan utama kerajaan negeri; menyelenggara dan membaiki tandas mainhole dan septic tank dan sistem kumbahan di kuarters Jalan Straits View. Itu adalah antara projek-projek dan adakah perlu saya membaca semua sekali? Sebab saya dapat..
Ringkasan sahaja.
Ini adalah antara ringkasannya. Kebanyakan projek ini adalah untuk rakyat, untuk kemudahan kepada segera dan imej kerajaan negeri Johor yang perlu dijaga di segi kualiti perkhidmatannya. Terima kasih.
Ok. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mohon penjelasan disebabkan peruntukan diluluskan untuk tahun 2020 yang telah dibuat pada tahun lepas adalah sebanyak RM19 juta. Dan peruntukan tambahan dipohon adalah RM18.8 juta. Maknanya hampir sekali ganda. Saya rasa ini menunjukkan satu keculasan ataupun suatu perkara yang agak pelik. Biasanya sebagaimana yang disebutkan oleh rakan saya tadi bahawa proses untuk membuat Bajet ini, Belanjawan ini adalah dibuat secara para dan bangunan ini bukanlah satu benda yang kita kata boleh mengalami maintenance ataupun susut nilai dalam masa 2, 3 bulan tetapi adalah long term sama ada fungsi fizikal, sama ada fungsi functional dia ataupun dari segi kebolehtahanan sesebuah bangunan tersebut. Maksud saya perkara ini boleh dianggarkan lebih awal dan tidak seharusnya berlaku projek ataupun peruntukan tambahan yang begitu besar. Menunjukkan bahawa jabatan seolah-olah jabatan-jabatan teknikal kita tidak menjalankan tugas mereka secara efisien ataupun baik. Soalan saya adalah perkara ini seharusnya tidak diulangi untuk tahun-tahun yang akan datang sebab sebagaimana yang saya sebut tadi bangunan ini adalah mempunyai hayat 60 tahun, 70 tahun, 80 tahun, kita boleh membuat bajet anggaran yang lebih tepat dan tidak perlu berlaku keadaan kita mohon bajet tambahan sekali ganda sepertimana yang telah diluluskan.
Soalan Yang Berhormat.
Itu soalannya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin menjelaskan sedikit kepada Dewan yang mulia. Perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat adalah selalunya perkara-perkara yang menyentuh tentang soal pembentukan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan. Di mana kita akan membahaskan perkara-perkara yang bersabit dengan soal perbekalan tetapi ini adalah Peraturan yang perlu kita buat bagi mematuhi Development Fund Act 1966 yang dipinda pada tahun 1989. Peranggaran tambahan Pembangunan yang biasa kita jadikan Rang Undang-Undang ialah Perbekalan bukannya Pembangunan, sebab itu kalau Yang Berhormat perasan perkara yang dibawa
oleh kerajaan pada pagi ini adalah Peranggaran Tambahan Pembangunan. Kaedah kita dalam Dewan Undangan Negeri ini sebegitu, bukanlah satu perkara yang mana ianya menunjukkan bahawa kerajaan tidak cekap dalam membuat anggaran projek-projek yang dicadangkan, bukan itu. Ianya hanya peraturan, peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang yang kita terpaksa bawa kepada Dewan ini untuk mengatakan bahawa RM18 juta ini diperlukan sebagai anggaran tambahan kepada Pembangunan. Ianya bukan Rang Undang-Undang baru yang kita bawa. Jadi, untuk itu Yang Berhormat, kita punya peraturan itu begitu. Saya mengesyorkan Tuan Speaker bahawa kalau pandangan daripada Ahli Yang Berhormat untuk kita boleh memperincikan, kita boleh membahaskan perkara ini bolehlah dirujuk kepada Jawatankuasa Peraturan Dewan. Kita boleh pinda. Akan datang kita akan lebih rancak dalam kita membahaskan setiap pindaan. Tapi buat masa ini, inilah peraturan yang ada bukannya kerajaan tidak cekap atau kerajaan tidak menyeluruh pendekatan yang diambil, tidak. Itulah kaedah yang ada yang diguna pakai. Peraturan yang telah ditetapkan melalui Development Fund Act 1966 yang digunakan oleh Dewan Undangan Negeri. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, oleh sebab maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 5 Tahun 2020 telah pun selesai ditimbangkan, maka saya membawa rundingan supaya ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu dimaklumkan serta-merta kepada Dewan Negeri.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Dewan Negeri Bersidang Semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker,saya mohon memaklumkan bahawa Jawatankuasa Dewan ini telah pun menimbang dan meluluskan tanpa pindaan maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 5 Tahun 2020. Dari itu, saya membawa rundingan supaya Dewan ini bersetuju bahawa peruntukan wang berjumlah RM18,801,000.00 yang dicadangkan bagi Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2020 ini diluluskan oleh Dewan ini. Dan, dengan ini mengambil ketetapan bahawa satu jumlah wang yang tidak melebihi RM18,801,000.00 hendaklah dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan Dalam Tahun Kewangan 2020 bagi menyempurnakan maksud yang dinyatakan dalam kertas mesyuarat yang tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2020.Bill
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2020 dibaca kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rang Undang-Undang ini dibaca kali pertama.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu bagi maksud-maksud yang tertentu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga. Dan, saya membawa Rundingan supaya Peraturan Tetap 112 (2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tambahan peruntukan perbekalan tambahan bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM8,623,000.00 dan diletakkan di bawah Jawatankuasa sebagaimana berikut :
Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor sebanyak RM8,623,000.00. Penjelasan lanjut bagi tambahan peruntukan tersebut akan diberikan di peringkat Jawatankuasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.
Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.
JADUAL.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM8,623,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.04, Perbendaharaan Negeri jadi sebahagian daripada jadual Rang Undang-Undang ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Perbekalan B.04, Perbendaharaan Negeri Johor, peruntukan sebanyak RM8,623,000.00 diperlukan untuk pulangan balik hapus kira.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 2.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian dari Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 akan jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 1.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 akan jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Dewan Negeri bersidang semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu-persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2020 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibaca kali ketiga dan diluluskan.
Bahawa adalah dengan ini adalah diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut :
Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2020.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) Tahun 2020.Bill
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) Tahun 2020 dibaca kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang pertama.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga. Dan saya membawa Rundingan supaya Peraturan Tetap 112 (2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan kedua bagi perbelanjaan bekalan tahun 2020. Tambahan peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM8,997,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan di bawah Jawatankuasa seperti berikut:
Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor, RM8,997,000.00. Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.
Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.
JADUAL.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya jumlah wang sebanyak RM8,524,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Pengurusan.
RM412,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Jurutulis Dewan Negeri. RM61,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.54, Pejabat Tanah Batu Pahat, jadi sebahagian daripada jadual Rang Undang-Undang.
Bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Pengurusan, peruntukan tambahan sebanyak RM8,524,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan perbelanjaan dalam pengurusan jabatan. Daripada jumlah
tersebut, sebanyak RM5,640,000.00 adalah untuk bekalan dan bahan-bahan lain jabatan. Dan, RM2,884,000.00 adalah untuk pemberian dalam negeri.
Bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor, peruntukan tambahan sebanyak RM412,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan faedah-faedah kewangan yang lain.
Bagi Maksud Bekalan B.54, Pejabat Tanah Batu Pahat, peruntukan tambahan sebanyak RM61,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi bayaran imbuhan tahunan dan bantuan kewangan tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker.
Jemput.
Bagi Maksud B.03, kod 15,000, di mana satu jumlah sebanyak RM412,000.00 yang diperuntukkan kepada Pejabat Jurutulis yang seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tadi, di mana dalam kertas mesyuarat yang kita dapati sebelum ini iaitu peruntukan tambahan ini diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi pembayaran hadiah lawatan ke luar negara dan elaun pakaian kepada 8 orang Ahli Yang Berhormat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang baru dilantik berikutan pertukaran pucuk pimpinan kerajaan negeri Johor pada 28 Februari 2020. Ini satu perangkaan yang begitu bagi saya menakutkan. Di mana pakaian untuk 8 orang Ahli MMK mencecah RM412,000.00, saya minta penjelasan pendetailan berkenaan dengan perkara ini.
Jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi Maksud B.03 ini, peruntukan tambahan yang diperlukan adalah RM412,000.00. Ianya adalah pemberian elaun khas dan elaun pakaian untuk 8 orang Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan yang baru. Seperti biasa, seperti amalan kerajaan-kerajaan sebelum ini pun, elaun khas dan elaun pakaian ini memang diberikan. Tapi saya memahami bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu adalah kerana mungkin kerana COVID. Pintu-pintu negara pun dah ditutup, macam mana nak buat lawatan ke negara luar tetapi kenapa bagi elaun khas ini.
Yang Berhormat, kerajaan ini terbentuk pada 20 Februari. 18 Mac baru PKP. Kita tak tahu tentang adanya PKP ini. Jadi, kerajaan membuat keputusan bahawa kita berilah seperti mana amalan biasa pemberian elaun khas dan juga elaun pakaian untuk 8 Ahli Majlis Mesyuarat. Sebab itu kita luluskan pada waktu itu kita tidak mengetahui tentang adanya Perintah Kawalan Pergerakan yang menutup pintu-pintu negara-negara berkenaan. Jadi, sebab itulah kita luluskan pemberian elaun khas dan juga elaun pakaian kepada 8 Ahli Dewan Undangan. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 2.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 dijadikan sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 1.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Dewan Negeri bersidang semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun dipertimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) Tahun 2020 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan, Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan.
Bahawa dengan ini adalah diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut; Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) Tahun 2020.
Ditangguhkan Persidangan ini sehingga jam 2:30 petang hari ini. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12:50 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2:30 petang.
Rundingan Pengurangan Cukai Tanah Negeri Johor.
Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullah. Rundingan daripada YB Pekan Nanas telah diterima oleh Jurutulis Dewan Negeri di bawah Peraturan Tetap Bilangan 32, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor. Suka saya mengingatkan Yang Berhormat hanya diberi masa sepuluh minit.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada tuan Speaker kerana diberi peluang untuk membawa rundingan ini dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan sekalian. Pertama sekali saya ingin memohon jasa baik daripada semua rakan tidak kira daripada Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila rundingan berkenaan pengurangan cukai dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini. Janganlah sebab rundingan ini dibawa oleh pihak pembangkang, ianya ditolak atas sebab pendirian politik yang berlainan.
Saya setuju sepenuhnya dengan saranan Menteri Besar bahawa negeri Johor sedang menghadapi cabaran COVID yang amat besar dan sebagai wakil rakyat kita perlu hentikan permainan politik pada masa yang kritikal ini. Jangan yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Yang penting sekarang bukan sahaja siapa menang dan siapa yang
kalah tetapi yang pentingnya adalah rakyat boleh mendapat manfaat dan negara kita boleh menghadapi cabaran COVID yang melanda di masa ini. Oleh itu, isu kenaikan cukai tanah pada masa ini perlu dipandang sebagai suatu isu yang melibatkan kepentingan awam dan perlu diselesaikan sepenuhnya secara matang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, cukai tanah merupakan salah satu punca pendapatan yang penting kepada kerajaan negeri. Pada tahun 2019, jumlah cukai tanah yang dipungut kerajaan negeri adalah sebanyak RM367,936,000.00 manakala anggaran cukai tanah yang dijangka dipungut pada tahun 2020 adalah RM598 juta. Perbezaannya setinggi lebih kurang RM230 juta. Pekan Nanas sedar bahawa tindakan semakan semula cukai tanah dengan pengurangan cukai tanah dan juga pemberian rebat kepada pemilik tanah merupakan satu cabaran yang besar kepada kedudukan kewangan kerajaan Johor. Malah saya masih berharap agar rundingan ini dapat diluluskan untuk meringankan beban rakyat. Saya tahu tindakan ini akan menyebabkan kerajaan Johor hilang sumber kewangan yang tinggi dan menyebabkan keadaan defisit pada tahun yang akan datang. Walau bagaimanapun, Pekan Nanas ingin menegaskan bahawa sama ada kedudukan kewangan kerajaan negeri berada dalam keadaan lebihan ataupun defisit, ianya bukanlah satu-satu penanda aras untuk menilai prestasi kerajaan. Malah, dalam menghadapi cabaran COVID, tindakan kerajaan menyalurkan bantuan untuk membantu rakyat meringankan beban mereka adalah lebih penting buat masa ini berbanding dengan risiko kerajaan menghadapi defisit.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pekan Nanas percaya pengurangan cukai tanah dapat meringankan beban rakyat dan membenarkan mereka mempunyai disposable income untuk perbelanjaan harian. Pada masa yang kritikal ini akan menghasilkan spillover effect kepada ekonomi negeri Johor. Kerajaan Johor telah mencatatkan lebihan sebanyak RM68,260,000.00 dan rizab kerajaan setinggi RM3.68 bilion pada tahun 2019. Pekan Nanas amat mengalu-alukan kerajaan menggunakan simpanan rizab ini untuk menghadapi cabaran COVID sama ada dengan cara pengurangan cukai ataupun penambahan perbelanjaan. Saya amat bersetuju dengan pandangan Menteri Besar bahawa kerajaan negara kita menghadapi cabaran yang sangat besar dalam krisis ini. Dan, keadaan kewangan kerajaan menghadapi defisit bukannya suatu isu yang patut dipertikaikan pada masa kritikal ini dan rakyat amat memerlukan bantuan daripada kerajaan. Dan saya berpandangan bahawa kerajaan perlu banyak belanja mengurangkan cukai dan menggunakan simpanan rizab dan sedia memberi sokongan jika belanjawan yang akan datang menghadapi defisit.
Tidak dapat dinafikan kerajaan Perikatan Nasional juga telah menjalankan banyak usaha untuk menyelesaikan masalah kenaikan cukai tanah seperti melanjutkan pembayaran cukai tanah sehingga 30 September dan potongan 50% cukai tanah bagi tanah-tanah Rizab Melayu dan juga apa yang diumumkan Menteri Besar tadi memberi rebat kepada cukai tanah. Tapi pada masa yang sama, pelaksanaan kadar cukai tanah yang baru yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2020 juga menimbulkan banyak pandangan yang berlainan dalam kalangan Pakatan Harapan. Kerajaan Pakatan Harapan pernah menganjurkan dua kali taklimat untuk memberi penjelasan dan menjalankan perbincangan bersama wakil rakyat dan pada masa itu, kerajaan Pakatan Harapan memberi cadangan untuk mengurangkan beban rakyat dengan melalui cara pemberian rebat pada tahun 2021.
Rundingan yang dibangkitkan hari ini sebenarnya merupakan suatu sambungan rundingan Dewan yang pernah dibangkitkan oleh saya dan disokong Mahkota pada Mesyuarat Keempat Penggal Kedua yang pernah dirancang dianjurkan pada 5 Mac 2020. Malah keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan pada awal tahun ini tidak bermakna usaha dan pandangan untuk mengkaji semula cukai tanah patut diberhentikan. Memandangkan pelaksanaan cukai tanah akan membawa impak yang besar kepada ekonomi dan rakyat di negeri Johor. Rundingan ini bukan sahaja dilontarkan kepada kerajaan Perikatan Nasional, rundingan yang sama juga pernah dibangkitkan dalam zaman pemerintahan Pakatan
Harapan. Oleh itu, Pekan Nanas menyeru bahawa semua wakil rakyat tidak kira daripada Pakatan Harapan ataupun Perikatan Nasional perlu mendapatkan persefahaman dalam isu ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, walaupun pelaksanaan dasar semakan semula kadar cukai pada awalnya dijangka tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah, namun pindaan kadar cukai tanah tersebut telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Pihak kami menerima banyak aduan mengenai isu kenaikan cukai tanah. Antara keluhan yang diterima adalah terdapat kes kenaikan cukai tanah sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan cukai tanah sebelumnya. Banyak pemilik tanah di bawah syarat rumah kediaman, rumah kedai dan tanah industri terpaksa menanggung kenaikan cukai tanah yang mendadak sehingga melebihi 100%. Tidak dapat dinafikan terdapat keperluan bagi kerajaan negeri Johor untuk membuat pindaan cukai tanah memandangkan pelaksanaan pindaan cukai tanah negeri Johor yang lepas dilaksanakan pada tahun 2004.Namun kadar kenaikan cukai yang dikenakan harus munasabah dan tidak membebankan rakyat. Tambahan pula cabaran dan impak perebakan pandemik COVID juga tidak mungkin dipertimbangkan semasa membuat perancangan pindaan cukai tanah baru. Saya pernah merujuk kepada Warta J.P.U 95, Kaedah-Kaedah Tanah Johor yang bertarikh 16 Disember 2004 dan juga Warta J.P.U 49, Kaedah-Kaedah Tanah Johor Pindaan 2020 yang bertarikh 5 Disember 2019, untuk mencari faktor yang menyebabkan kenaikan cukai tanah melambung tinggi dan tidak seperti yang pernah dijangkakan. Saya dapati salah satu punca utama yang menyebabkan kenaikan cukai tanah melambung tinggi adalah pelaksanaan cara pengkelasan tanah yang baru.
Menurut warta tahun 2004, tanah Johor dikelaskan kepada 5 jenis. Iaitu tanah desa, tanah pekan, tanah bandar kategori C, tanah kategori B, tanah kategori A. Manakala dalam warta 2019, jenis tanah Johor hanya tinggal tanah bandar kategori C, B dan A. Setiap jenis akan dikenakan kadar cukai yang berbeza di antaranya cukai tanah kategori A paling tinggi dan cukai tanah untuk desa paling rendah. Orang awam mengadu bahawa cukai tanah kediaman, rumah dan tanah industri meningkat hampir 1 kali ganda adalah disebabkan tanah kategori desa dan pekan dimansuhkan. Selepas dimansuhkan mereka automatik dinaik taraf menjadi tanah bandar kategori C yang akan dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi. Selain itu, sebahagian tanah kategori C dinaikkan kepada B. Tanah kategori B dinaik taraf kepada kategori A juga menyebabkan kadar cukainya melambung tinggi kerana ia bukan hanya melibatkan kadar kenaikan cukai asas, malah, ia juga melibatkan kenaikan kadar cukai yang disebabkan tukar kategori. Sebab itu sebarang aduan daripada kategori ini harus diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mengikut perhitungan saya, pertukaran kategori tanah desa ke bandar kategori C akan menyebabkan kenaikan cukai tanah sebanyak 110% bagi tanah kediaman dan 161.22% bagi cukai rumah kedai. Pertukaran kategori tanah daripada tanah desa ke tanah bandar kategori C akan menyebabkan kenaikan cukai tanah setinggi 61.54% bagi tanah kediaman dan 82.66% bagi tanah rumah kedai. Manakala pertukaran tanah kategori C ke kategori B akan menyebabkan kenaikan cukai rumah kediaman sebanyak 77.33% dan rumah kedai sebanyak 83.5%..
Masa dah 10 minit Yang Berhormat, ringkaskan.
Ini merupakan keluhan yang mengadu kenaikan cukai tanah menghampiri 1 kali ganda. Keadaan yang sama juga akan berlaku dan jenis cukai tanah selain daripada jenis tanah kediaman dan rumah kedai. Selain daripada aduan yang saya terima di sekitar Pekan Nanas dan Pontian, jika saya merujuk kepada Taklimat Pembentangan Pelaksanaan Cukai Tanah pada 9 Januari 2020. Contoh kadar cukai tanah rumah kedai di Buluh Kasap, Segamat meningkat daripada RM98.00 kepada RM256.00 telah menunjukkan kenaikan sebanyak 161.22% dan keadaan cukai rumah kedai
di kawasan Taman Suria di Ulu Benut, Kluang juga meningkat setinggi 82.86% mengikut taklimat yang pernah dijalankan. Manakala sekiranya tidak melibatkan faktor pertukaran kategori tanah, kenaikan cukai tanah bagi contoh-contoh yang di atas adalah berada dalam lingkungan 40% sampai 50%. Sebab itu, rayuan terhadap cukai tanah yang melibatkan kategori tanah, pertukaran kategori tanah diberi pertimbangan yang sewajarnya dan saya berpandangan bahawa bagi potongan rebat sekadar 15% ataupun 10% tidak mencukupi untuk menyelesaikan aduan-aduan yang saya sebut di atas. Tambahan pula, perebakan COVID di seluruh dunia sejak awal tahun ini telah membawa impak negatif kepada ekonomi negara kita. Keadaan ekonomi yang lembap telah menyebabkan...
Yang Berhormat, berapa lama lagi?
Sedikit sahaja. Lima minit.
Eh, ni tak boleh ni, satu minit Yang Berhormat.
Saya minta maaf. Saya minta maaf. Menyebabkan banyak kedai komersial dan kilang menjadi terbiar. Pemilik susah untuk mencari penyewa dan pembeli. Oleh itu, saya ringkaskan sedikit, saya mendapati kadar cukai untuk banyak kategori seperti tanah bengkel, tanah kompleks sukan, tanah perkuburan adalah tidak munasabah dan akan dibentangkan secara terperinci oleh Mahkota dalam ucapan yang akan datang. Dan, kita kalau tengok kepada impak kepada industri pelancongan, kompleks membeli belah bagi kawasan yang berhampiran dengan Singapura adalah amat besar susulan banyak pelancong tidak dapat berbelanja di Johor Bahru. Pengangguran penduduk Johor dan persinggahan pekerja di Singapura juga menyebabkan permintaan pasaran menurun secara drastik dan juga menimbulkan kesan yang tidak pernah dijangka pada masa perancangan dan pelaksanaan kadar cukai baru. Oleh itu, saya berpandangan pelaksanaan semakan kadar cukai yang mengikut Kaedah-Kaedah Tanah Johor, Pindaan 2020 Warta JPU 49 adalah tidak bersesuaian dengan keadaan terkini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan perlu memberi penangguhan, kerajaan negeri memberi penangguhan pembayaran cukai tanah sehingga 30 September dan denda lewat akan dimulakan mulai 1 Oktober. Tarikh pelaksanaan denda lewat ini kebetulan sama dengan masa tamat moratorium bank. Setakat ini, terdapat 300,000 peminjam telah mengesahkan bahawa mereka betul-betul memerlukan bantuan pembayaran balik selepas moratorium dan angka ini dijangka akan meningkat ketara pada masa yang akan datang.
Simpulkan Yang Amat Berhormat. Simpulkan. Masa dah lebih Yang Berhormat.
Di antaranya pasti ada bangsa Johor yang amat kita sayangi. Bagi golongan yang menghadapi kesukaran, mereka tidak mampu untuk membuat bayaran mungkin sebab hilang pekerjaan, perniagaan merosot teruk. Jika mereka dikenakan cukai tinggi dan denda lewat lagi, bukankah kerajaan bertambah buruk kepada keadaan mereka. Oleh itu saya berharap kerajaan dapat menangguhkan pembayaran cukai tanah sampai akhir tahun ini. Saya juga memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan kadar cukai tanah mengikut Kaedah-Kaedah Tanah Johor, Pindaan 2020 sepanjang masa perebakan COVID-19. Bagi sesiapa yang masih belum membuat pembayaran cukai tanah, mereka dibenarkan membuat pembayaran mengikut cukai tanah yang lama yang diluluskan pada 16 Disember 2004, mengikut Warta JPU 95. Bagi sesiapa yang telah membuat bayaran cukai.
Yang Berhormat, masa dah tamat Yang Berhormat.
Sudah nak buat conclusion, mereka boleh diberikan rebat. Pendek kata, pendek kata demi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dan memberi rangsangan ekonomi pada waktu perebakan wabak COVID, saya mengusulkan rundingan untuk mendapat satu persefahaman dalam Dewan yang mulia ini untuk memohon kerajaan mengkaji semula dan mengurangkan cukai tanah untuk meringankan beban hidup rakyat dan merangsangkan ekonomi dengan cara menangguhkan pelaksanaan pindaan cukai tanah yang terkini.
Usul yang saya bangkitkan hari ini juga sedang menjawab satu soalan, wajarkah kita masih meningkatkan cukai tanah pada zaman pandemik? Saya berharap agar semua Wakil Rakyat lebih prihatin kepada keadaan rakyat pada ketika ini dan mengurangkan kadar cukai dengan cara berikut. Semoga usul dan cadangan ini boleh mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam Dewan yang mulia ini. Pilihan di tangan semua rakan-rakan dalam Dewan ini. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat ada sokongan?
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum.
Yang Berhormat, Yang Berhormat sebut saja, saya menyokong dahulu.
Saya menyokong. Yang Berhormat Tuan Speaker.
Oleh kerana rundingan ini telah disokong, saya membenarkan rundingan itu di bahas oleh seorang daripada ADUN kerajaan dan seorang daripada ADUN pembangkang. Masa lima minit sahaja. Terpulang kerajaan ataupun pembangkang dahulu. Silakan kalau ada.
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, menurut kaedah percukaian dalam fiqh Islam, tindakan pemerintah terhadap rakyat adalah mengikut maslahat. Ia bermaksud, setelah pemerintah mendapatkan nasihat daripada ahlul halwal aqa’, ahli syura, pakar-pakar, penasihat-penasihat yang jujur lagi amanah, maka pemerintah boleh kenakan cukai yang sewajarnya. Oleh itu, selari dengan kaedah fiqh tersebut, Mahkota menyeru Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini bersama-sama berfikir dan melihat permasalahan ke depan yang kita hadapi sekarang, demi rundingan untuk kebaikan pada rakyat, maka sokongan saya berikan kepada Pekan Nanas.
Seperti yang telah diketahui, kali terakhir cukai ini, pindaan cukai tanah dibuat pada tahun 2004 iaitu 16 tahun yang lalu. Memang wajar dan memang ada rasionalnya untuk dibuat satu kenaikan cukai tanah demi merancakkan lagi kemajuan negeri Johor. Tambahan pula pada ketika diluluskan, tiada ancaman pandemik. Petunjuk ekonomi keadaan fiskal negeri dan negara berada di landasan yang kukuh. Malah negeri Johor telah mencatatkan lebihan sebanyak RM68,260,000.00 dan rizab kerajaan RM3.068 bilion pada 2019. Namun pada Disember 2019, negara China telah melaporkan kluster pertama Novel Corona Virus di Wuhan, di wilayah Hubing. Pada awalnya COVID-19 dilihat hanya akan memberi impak seperti virus-virus sebelum daripada ini iaitu SARS dan juga H1N1. Tanpa dijangka COVID-19 telah menjejaskan ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia seluruhnya. Semakan semula kadar cukai tanah negeri Johor telah berkuat kuasa 1 Januari 2020. Kerajaan negeri Johor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini telah menganjurkan taklimat dan beberapa sesi penerangan, perbincangan dengan pembayar-pembayar cukai. Mahkota merasakan bahawa terdapat kumpulan untuk berbincang secara lebih mendalam demi kebaikan rakyat masa hadapan.
Pandemik COVID-19 mula memberi kesan kepada terhadap ekonomi dunia. Apabila Malaysia terpaksa melaksanakan PKP, demi membendung penularan virus ini dan menyebabkan rakyat hilang mata pencarian dan penyusutan di dalam pendapatan. Kadar pengangguran meningkat 18% sehingga bulan Jun 2020. Hal ini menguatkan lagi alasan bahawa terdapat keperluan agar pindaan cukai ini dibincangkan semula. Mahkota ingin mengucapkan terima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana telah menangguhkan pembayaran cukai sehingga pada 30 September 2020. Namun, Mahkota bersependapat dengan Pekan Nanas bahawa ia tidak mencukupi. Ini disebabkan pada bulan September 2020 ini, tempoh moratorium tamat sekali gus, rakyat akan merasakan bebanan sebenar dari sudut kewangan. Di peringkat awal pelaksanaan pindaan cukai tanah, Mahkota telah bekerjasama dengan Pejabat Tanah Kluang untuk memberikan penjelasan. Didapati ramai yang keliru tentang pindaan dan kenaikan kerana terdapat pelbagai perubahan. Ramai pembayar cukai mendapati terpaksa membayar cukai yang berkali ganda tinggi kerana pada geran mereka dinyatakan syarat tanah NIL. Di Kluang, yang datang mengadu di pejabat Mahkota, membayar cukai tanah pada tahun 2020 bagi rumah, meningkat kepada RM500. Pada tahun 2019, beliau hanya membayar RM60. Setelah semakan dilakukan mendapati, ia disebabkan NIL dan beliau perlu membuat proses ubah syarat. Ada juga yang terus membayar tanpa menyemak dengan pegawai, mereka tidak menukar syarat kerana tidak mendapat maklumat, dan ini menyebabkan kenaikan yang tinggi. Oleh itu, usaha untuk memastikan 38,906 hak milik yang mempunyai syarat nyata NIL untuk membuat ubah syarat perlu dilaksanakan dengan terancang bagi menyampaikan maklumat kepada mereka.
Cukai tanah bagi kategori industri mengalami kenaikan yang ketara. Di Kluang terdapat taman-taman industri yang agak kosong kerana kelembapan ekonomi perindustrian walaupun sebelum kenaikan cukai tanah. Kenaikan cukai tanah ini boleh menyebabkan lebih banyak tapak perindustrian lengang sekiranya tiada mekanisme mampu membantu pemilik di waktu pandemik 19 ini. Berbanding dengan cukai tanah industri, untuk bengkel dan petrokimia dan gas, terdapat persoalan mengapa cukai untuk bengkel lebih tinggi daripada jenis petrokimia dan gas? Merujuk jadual muka surat 394, Warta JPU 49, Kaedah-kaedah Tanah Johor Pindaan 2020, petrokimia dan gas dikenakan cukai RM225.00 untuk 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, manakala bengkel dikenakan RM275.00 untuk 100 meter persegi. Dalam perkembangan terkini, kerajaan negeri Pahang telah mengurangkan cukai tanah industri sebanyak 80% mulai 11 September 2020. Jadi kita lihat di Pahang ada menunjukkan bahawa perubahan dalam permasalahan yang dihadapi oleh negara sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seorang pemilik tanah di DUN Mahkota, mempunyai sebidang tanah untuk dijadikan tempat letak kereta. Pada tahun 2019, beliau telah membayar RM19,320.00 dan kini pada 2020 beliau dikenakan RM27,048.00. Pertambahan kos RM7,728.00 selain daripada kenaikan cukai tanah, kos pengurusan juga meningkat. Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga. PKP selama tiga bulan telah menyebabkan kerugian terhadap perniagaan beliau. Tanah yang digunakan untuk kompleks sukan juga mengalami kenaikan. Pada PKP yang lalu, aktiviti sukan juga tidak dibenarkan. Ia menjejaskan perniagaan di kompleks sukan swasta. Mahkota ingin membuat perbandingan dengan sukan para elitist. Kompleks sukan kerajaan dikenakan RM171.00 untuk 100 meter persegi atau sebahagiannya. Kompleks sukan swasta dikenakan RM422.00 untuk 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya.
Mahkota dah lebih lima minit.
Namun begitu, padang golf hanya dikenakan RM5.00 untuk 100 meter persegi. Itu adalah salah satu contoh. Saya sebenarnya ada menyenaraikan beberapa contoh lagi, oleh kerana masa tiada, saya skip beri contoh itu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, walaupun kenaikan cukai tanah tidak menjejaskan golongan B40, Mahkota percaya setiap kenaikan akan menyebabkan tindak balas berantai, chain reaction, pada kenaikan harga yang lain. Di dalam hal ini pemilik tanah ingin mengimbangi cukai kenaikan cukai tanah dengan meningkatkan bayaran sewaan tanah atau harga hasil yang dituai. Selain itu, kenaikan ini menjadi justifikasi untuk peniaga meningkatkan perkhidmatan yang diberikan.
Tindak balas berantai seterusnya ialah kenaikan kos sara hidup terutama di bandar-bandar. Bagi tanah-tanah kosong yang terbiar pula kenaikan cukai berkemungkinan menyebabkan pemilik tanah tidak mampu untuk membayar cukai. Mahkota juga mencadangkan agar satu kajian lengkap terhadap kesan kenaikan cukai tanah pada waktu pandemik COVID-19 terhadap rakyat saja. Komprehensif kerajaan negeri boleh membuat pengubahsuaian dan keputusan yang lebih tepat. Oleh itu rakyat perlu mendapat maklumat yang lengkap.
Selain daripada itu, selaras dengan keputusan kerajaan pusat untuk menyambung PKPP sehingga 31 Disember 2020, Mahkota juga ingin mencadangkan agar penangguhan pembayaran cukai dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi pemilik tanah yang telah membayar untuk tahun 2020, mereka boleh diberikan rebat untuk cukai pada tahun 2021. Mahkota juga mencadangkan pada masa-masa akan datang, ADUN-ADUN sama ada di peringkat kerajaan dan juga ataupun di peringkat pembangkang, dapat dipanggil untuk berbincang bersama dalam usaha-usaha yang berkaitan dengan cukai-cukai ini. Mahkota amat bersetuju dengan kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, bahawa keutamaan kerajaan pada masa kini ialah pemulihan, recovery. Kerajaan negeri perlu kreatif dalam mencari kaedah untuk mengimbangi ketiadaan pelaburan baru, malah banyak sekali pelaburan turut terhenti ditarik balik dan tidak teruskan. Walau bagaimanapun, kekurangan sumber pendapatan adalah tidak konstruktif sekiranya kerajaan yang menekan rakyat dengan kenaikan cukai tanah untuk mendapatkan pendapatan.
Krisis pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan rakyat menghadapi kesukaran untuk menyara kehidupan, terutamanya makan, minum dan tempat tinggal. Adakah kerajaan negeri sanggup membebankan lagi rakyat dengan kenaikan cukai tanah? Oleh itu Mahkota sekali lagi menyokong usul rundingan pemberian rebat cukai tanah untuk ringankan beban rakyat. Sekian wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahirahmanirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, sebelum Panti teruskan perbahasan Panti ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Ir. Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor ke-18 yang berjaya mengurus dengan baik negeri Johor dalam masa kita mendepani cabaran COVID 19 sejak ianya bermula hingga kini.
Tahniah juga kepada kerajaan persekutuan pimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin atas kebijaksanaan dalam menerajui kerajaan persekutuan walaupun dalam waktu singkat sejurus memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia dan akhir sekali tidak lupa kepada semua frontliner dan seluruh rakyat yang sama-sama memastikan kepatuhan kepada norma baru hari ini bagi kita terus menang dan akhirnya bebas insya-Allah dari wabak COVID satu hari nanti.
Yang Berhormat Speaker, rundingan yang dibawa oleh Yang Berhormat Pekan Nanas pada hari ini ianya berkaitan cukai tanah dan Panti bacakan Para 5 ayat terakhir dalam pemberitahuan rundingan, Pekan Nanas nyatakan namun kadar kenaikan cukai yang dikenakan haruslah munasabah dan tidak membebankan rakyat. Begitu juga Yang Berhormat Mengkibol, dalam perbahasan pada Khamis lepas juga menyatakan kenaikan cukai tanah tidak munasabah.
Yang pertama, adakah rundingan ini adalah untuk dengan izin, reverse balik keputusan yang mereka sendiri luluskan, yang mana kita seperti Yang Amat Berhormat Menteri Besar katakan pada pagi tadi kita tidak terlibat dalam proses pindaan cukai tanah ini.
Dan yang kedua, dengan kenyataan seperti itu ia membuktikan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini pada waktu itu telah melakukan kesilapan dengan meluluskan perkara ini. Mungkin tidak diteliti atau dikaji dengan sepenuhnya atau apa sahaja alasan yang diberi, pokoknya mereka gagal mengurus dengan baik. Kenapa waktu sebelum ini, waktu sebelum kerajaan Pakatan Harapan waktu kerajaan Barisan Nasional perkara ini tidak timbul dan pada waktu itu walaupun dengan belanjawan surplus yang dibentangkan setiap tahun dengan banyaknya inisiatif untuk rakyat diperkenalkan kerajaan pada waktu itu berjaya mengurus dengan baik negeri Johor hinggalah Pakatan Harapan mengambil alih pada tahun 2018 yang lalu. Pendapatan kerajaan banyak melalui pelaburan yang dibawa sama ada dalam dan luar negara tanpa memberi bebanan yang tidak munasabah seperti yang Panti katakan tadi ianya ayat ataupun penyataan oleh Pekan Nanas dan Mengkibol sendiri.
Yang Berhormat Speaker, hari ini dengan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan juga banyak kerosakan dan perlu dan perkara yang perlu kerajaan Perikatan Nasional perbetulkan. Sudah tentu dalam mendepani cabaran COVID 19 serta ketidaktentuan ekonomi dan ditambah tanpa pelaburan luar dan dalam negara yang sepatutnya ke negeri Johor. Kerajaan pada hari ini sangat bergantungan dengan sumber lain seperti cukai yang dibawa dalam rundingan pada hari ini. Sudah tentu juga kerajaan pada hari ini memerlukan masa untuk menarik kembali keyakinan pelabur dan melonjak ekonomi seperti yang pernah kita negeri Johor impikan suatu ketika dulu. Johor mengejar singa akan tercapai.
Yang Berhormat Speaker, janganlah kita terus berpolitik, jangan kita hanya bercakap sahaja, baru sekarang nak tunjuk jaga kebajikan, baru sekarang hendak tunjuk prihatin, semasa diberi peluang menjadi kerajaan tidak pula membawa perkara-perkara yang rakyat mahukan. Bagi kami Perikatan Nasional pada hari ini urusan kebajikan rakyat sentiasa menjadi perkara yang pertama untuk kami jayakan. Apabila kerajaan perikatan dibentuk seperti semua maklum negara dan negeri diuji dengan wabak COVID 19 dan alhamdulillah dapat ditangani dengan baik oleh pusat dan juga negeri. Dan, ini jika dilihat pada sejarah pentadbiran sebelum ini, sebelum Pakatan Harapan, ini adalah sesuatu yang menjadi track rekod dengan izin, bencana alam, ancaman anasir luar, wabak pada hari ini dan banyak lagi perkara berjaya diuruskan sebaiknya dan akhirnya rakyat mendapat manfaat dengan kestabilan serta kehidupan yang harmoni dan aman.
Yang Berhormat Speaker, berulang kali Yang Amat berhormat Menteri besar nyatakan cukup-cukup lah berpolitik masa depan Johor lebih penting tika ini. Hari ini, tidak dinafikan sememangnya rakyat terkesan atas ancaman COVID-19 dan ingin Panti nyatakan yang kerajaan negeri telah dan akan terus menangani dengan baik seperti yang telah dilakukan dan akan terus dilakukan. Perkara ini merupakan usaha berterusan yang memerlukan muafakat semua dan bukan terletak atas bahu kerajaan sahaja. Kalau kita lihat isu tanah dan cukai tanah ini, banyak yang telah kerajaan umumkan sama ada melalui Pakej Rangsangan Ihsan Johor, 7 Ikhtiar Makmur Johor atau inisiatif lain contohnya, melanjutkan tempoh bayaran ke satu tarikh yang mampu untuk pemilik uruskan, bersetuju memberi pengecualian bayaran atas urusan tukar hak milik, bersetuju mengecualikan semua denda lewat, bersetuju memberi perlanjutan tempoh selama sebulan, bersetuju untuk melanjutkan tempoh inisiatif pentadbiran tanah Johor dan juga perluasan potongan 50% cukai bagi tanah seluas 5 hektar berbanding 4 hektar sebelum ini dan pada ketika ini pada hari ini Yang Amat Berhormat sekali lagi dengan keprihatinan kerajaan telah membuktikan kerajaan yang bertanggungjawab dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri besar untuk memberi rebat pada kadar 15%, 10%, 5% untuk tahun 2020, 2021 dan 2022.
Panti juga bersetuju dengan Yang Berhormat Buluh Kasap dalam perbahasan tempoh hari menyatakan kerajaan perlu lebih berani berbelanja dengan peruntukan yang lebih besar dalam ketika ancaman COVID-19 pada hari ini tidak salah kiranya jika belanjawan yang di bentang kelak adalah belanjawan defisit tetapi hakikatnya semua itu adalah bagi kepentingan negeri dan kebajikan semua golongan rakyat di negeri Johor. Besar pelaburan yang kerajaan buat untuk rakyat maka besarlah pulangan yang diberi oleh rakyat kelak dalam usaha kita bersama berganding bahu memakmurkan negeri Johor.
Yang Berhormat Speaker, kesimpulannya rundingan yang dibawa Pekan Nanas pada hari ini tidak perlu dan tidak, tidak wajar diluluskan pada hari ini. Ini kerana usaha kerajaan membantu rakyat bukan bermula pada hari ini tetapi telah bermula sebaik Perikatan Nasional mula menjadi kerajaan. Tanpa perlu rundingan mengejar populariti seperti yang dibuat oleh Pekan Nanas pun sememangnya kerajaan negeri terus berusaha untuk memberi yang terbaik dan Panti percaya kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuklah mungkin membantu pemilik tanah secara langsung atau tidak langsung dalam kaedah-kaedah yang lebih baik selepas ini.
Yang penting sekali lagi seperti ungkapan yang sentiasa dilaungkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, cukup-cukup lah berpolitik kerana masa depan Johor lebih penting tika ini haruslah difahami dan dijayakan bersama oleh semua pihak. Insya-Allah, sekian terima kasih.
Terima kasih. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan. Yang tidak bersetuju, jemput angkat tangan. Nampaknya lebih ramai yang tidak bersetuju. Rundingan itu tidak dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker saya menyokong rundingan itu.
Ucapan Tangguhan Mesyuarat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jurutulis ada menerima dua Ucapan Tangguhan daripada Yang Berhormat Kempas dan Yang Berhormat Parit Yaani bawah Peraturan Tetap Bilangan 119 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor. Suka saya mengingatkan Yang Berhormat diberi masa tidak lebih daripada 10 minit dan hendaklah mengikut teks yang telah diberikan kepada Jurutulis. Jemput Yang Berhormat Kempas, 10 minit Yang Berhormat, ikut teks Yang Berhormat.
Bismillahirahmanirahim. Assalammualaikum warahmatullahitaalahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat petang.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, kerana telah memberikan saya peluang untuk berucap di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor kali ini. Rata-rata daripada kita tahu bahawa negara masih lagi di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember 2020. Sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia kita Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin pada 28 Ogos 2020 yang lalu akibat daripada musibah COVID-19. Ini bermakna kita akan melalui tempoh PKP hampir sepanjang tahun 2020 bersamaan dengan 9 bulan lebih apabila tempoh PKP ini tamat pada 31 Disember 2020 nanti.
Di kesempatan ini, saya ingin merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim kerana keprihatinan baginda serta belas ihsan Ke Bawah Duli yang begitu mengambil berat tentang rakyat Johor sepanjang tempoh PKP ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua frontliner dengan izin, yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia di negeri Johor seperti doktor, jururawat dan kakitangan hospital, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam serta semua yang terlibat sebagai barisan hadapan dalam usaha memerangi COVID-19 ini termasuklah NGO-NGO. Tanpa semua frontliner ini semua kita akan tidak akan berjaya menghadapi musibah COVID-19 ini dengan jayanya. Hanya dengan keberanian dan kecekalan mereka maka kita berjaya dan sudah tentulah keberanian dan kecekalan mereka ini menjadi sumber inspirasi seluruh rakyat Malaysia.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tidak menafikan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor dalam membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 ini adalah satu usaha yang baik, pelbagai inisiatif dan bantuan diberikan dan disalurkan kepada rakyat sepanjang tempoh PKP ini. Terutama ketika tempoh kritikal PKP di peringkat awal lagi. Meskipun hari ini kita hampir menjalani kehidupan seperti normal namun pada hakikat yang sebenarnya begitu ramai rakyat yang terkesan akibat daripada musibah COVID 19 ini terutama dari sudut ekonomi dan di bandar.
Sebahagian besar perniagaan ditutup, syarikat gulung tikar, pekerja yang kehilangan pekerjaan dan pelbagai lagi kesan buruk yang menimpa rakyat khususnya di negeri Johor Darul Takzim ini. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei yang lalu kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3% mencatatkan sebanyak 826,100 penganggur. Kadar ini adalah kadar yang tertinggi sejak tahun 1989. Manakala menurut Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk, dulu ada Ir. sekarang tak ada, Datuk Hasni Mohammad berkata, tinjauan tenaga buruh Malaysia oleh jabatan perangkaan Malaysia merekodkan kadar pengangguran di Johor pada suku pertama tahun ini mencecah 3.2%. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5% berbanding suku keempat tahun 2019 dengan peningkatan kadar pengangguran ini sedikit sebanyak membimbangkan kita semua. Rentetan daripada peningkatan pengangguran ini kita dapat melihat inisiatif rakyat di negeri ini berusaha untuk keluar daripada masalah hilang sumber pendapatan. Maka ramailah daripada kalangan rakyat mula menyertai sektor e-hailing seperti Grab dan juga platform e-hailing lain. Perkhidmatan penghantaran makanan seperti Food Panda dan juga tidak kurang juga yang berniaga secara kecil-kecilan.
Bagi mereka yang mempunyai keupayaan untuk mencari jalan alternatif menjana pendapatan untuk menampung ke depan selepas hilang pekerjaan. Alhamdulillah, kita percaya biarpun ianya sukar namun sedikit sebanyak ia akan dapat membantu rakyat menempuhi saat getir buat masa ini.
Namun apa yang lebih membimbangkan kita daripada masalah kehilangan pekerjaan ini adalah satu golongan yang seharus diberikan perhatian khusus iaitu golongan wanita terutamanya ibu tunggal. Golongan wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan sebanyak 72.2% wanita kehilangan pekerjaan sehingga hari ini. Satu langkah yang drastik dan berkesan perlu diambil bagi memastikan golongan wanita yang terkesan daripada masalah ini dapat dibela. Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri adalah menyediakan satu pusat aduan khas di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim dengan menggerakkan semua penggerak wanita di setiap DUN di dalam negeri Johor untuk mengenal pasti golongan wanita yang terkesan atau hilang pekerjaan terutama golongan wanita yang menjadi ketua isi rumah seperti ibu tunggal dan golongan wanita yang
menyara ibu bapa serta keluarga. Dalam masa yang sama, kerajaan juga harus berperanan untuk memastikan bahawa tidak wujud sebarang ketidakadilan dalam pemberhentian pekerjaan terutama ketidakadilan akibat gender. Apabila berlakunya pemberhentian kerja terhadap wanita, kerajaan negeri perlu memberikan penerangan kepada wanita ini tentang bantuan kerajaan atau program retaining dengan izin, yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka agar mereka mendapat maklumat yang secukupnya tentang bidang baru yang mereka boleh ceburi. Sehingga hari ini saya tak nampak lagi, takut nanti ramai pula yang bunuh diri.
Selain daripada golongan wanita, golongan belia juga tidak terkecuali daripada terkesan dengan masalah ekonomi, seperti kehilangan pekerjaan akibat musibah ini. Data LOE menunjukkan 61% kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah dengan 31 - 40 tahun yang menyumbang sebanyak 32%, manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29% di seluruh Malaysia. Di negeri Johor ini, umum kita ketahui bahawa ramai belia kita yang bekerja di Singapura kini kehilangan pekerjaan kerana dasar yang dibuat oleh kerajaan Singapura yang turut terkesan dengan musibah COVID-19 ini. Semalam kita dengar kerajaan Singapura dan juga kerajaan Jepun telah pun menandatangani timbal balik untuk melonggarkan kedatangan pekerja-pekerja daripada negara Jepun dan juga Singapura. Saya harap perkara itu bolehlah difikirkan oleh kerajaan Johor.
Di negeri Johor ini, meskipun kerajaan persekutuan telah menyediakan platform aduan dan juga beberapa langkah inisiatif bagi membantu golongan belia yang hilang pekerjaan terutama yang belum, sebelum ini bekerja di Singapura, namun kerajaan negeri Johor harus juga mengambil berat dan melaksanakan apa jua inisiatif bagi membantu golongan ini. Umum kita ketahui bahawa kebanyakan golongan yang hilang pekerjaan ini selain daripada menyertai e-hailing atau menjadi penghantar makanan, mereka juga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.
Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada pihak kerajaan negeri Johor khususnya Pihak Berkuasa Tempatan agar memberikan kelonggaran kepada golongan yang baru berniaga di tepi-tepi jalan dari sudut penguatkuasaan dan undang-undang. Kerana, di bandar raya Johor Bahru ini begitu ramai di kalangan mereka yang mencari nafkah halal tetapi kebanyakannya dihalang oleh Pihak Berkuasa Tempatan sedangkan kita tidak memberikan kelonggaran dan kemudahan-kemudahan. Saya harap perkara ini mestilah dipandang serius. Janganlah terlalu keras melaksanakan undang-undang sehingga memberi tekanan kepada rakyat yang baru nak berniaga. Perlu diingat bahawa mereka berniaga kerana tidak ada pilihan lain selepas mereka hilang pekerjaan akibat daripada kesan musibah ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada..
Yang Berhormat Kempas, Yang Berhormat Kempas, teks ni baru suku aje Yang Berhormat. Tapi masa Yang Berhormat ada satu minit aje.
Ya, saya akan cuba pendekkan dan juga Yang Berhormat Tuan Speaker akan cuba berikan sedikit masa tambahan lagi.
Selain daripada aspek ekonomi, kita turut bimbang dengan kadar buruk musibah ini terhadap aspek sosial dan kesihatan di kalangan rakyat Johor. Amalan perubahan cara hidup melalui norma baru sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap aspek sosial di kalangan rakyat Johor. Kerajaan negeri Johor juga harus memastikan bahawa tahap kesihatan rakyat Johor berada di tahap yang terkawal terutama dari sudut emosi dan pemikiran. Terkesan daripada masalah ekonomi dengan kurangnya aktiviti sosial sudah pasti memberikan tekanan emosi yang kurang baik dengan setengah-setengah individu.
Maka antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menyediakan perkhidmatan kaunseling dan juga khidmat nasihat bagi memastikan tekanan emosi golongan ini berada di tahap yang rendah. Golongan ini perlu diberikan perhatian agar usaha kerajaan negeri untuk membina generasi rakyat yang sihat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, kerajaan juga melihatkan kesan peningkatan jenayah akibat daripada musibah ini. Kemelesetan ekonomi yang kita hadapi akibat daripada musibah ini bukan sahaja meningkatkan pengangguran tetapi mendorong kepada peningkatan jenayah. Ini memberi kesan kepada masyarakat dari sudut sosial. Dalam hal ini, saya ingin menyeru kerajaan Johor supaya dapat mengekang peningkatan jenayah yang meningkat akibat daripada musibah ini dengan berkesan kerana kita bimbang ia akan menggugat kesejahteraan dan keamanan rakyat di negeri Johor.
Di dalam kegigihan kita mengharungi kesukaran akibat musibah ini, sebenarnya negeri Johor turut dilanda permasalahan yang lain aspek politik. Namun kita ketahui sebelum perlaksanaan PKP bahawa sebelum perlaksanaan PKP negeri Johor baru sahaja bertukar kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional. Begitu juga dengan kerajaan persekutuan. Hal ini telah pun berlaku dan tidak ada siapa dapat menafikannya. Namun, di dalam kesukaran rakyat menghadapi kemelut akibat COVID-19 ini, seharusnya semua parti politik terutama pemimpin parti politik, sama ada pembangkang mahupun kerajaan yang tidak memegang jawatan di peringkat kerajaan agar menghentikan segala provokasi politik. Kerana ini juga menimbul keadaan yang tidak tentu hala. Sindiran-sindiran politik dengan percaturan yang akan mengakibatkan perpecahan dan juga tidak kestabilan politik terutama terhadap golongan parti kerajaan baru ini, tidak harus disensasikan kerana ianya akan mewujudkan ketidakstabilan politik dan rasa tidak senang di kalangan rakyat. Kita tidak mahu hanya bercakap secara retorik tetapi perkara ini perlulah direalisasikan terutamanya kepimpinan-kepimpinan di atas supaya mengambil sesuatu tindakan yang baik dalam untuk menyelesaikan masalah ini.
Masa dah habis Yang Berhormat. Simpulkan Yang Berhormat.
Bagi saya satu minit lagi. Dah nak digulung habis ni, Tuan Speaker.
Desakan demi desakan untuk mempercepatkan pilihan raya umum hanya akan mengakibatkan pelabur dari luar bimbang untuk melabur di negeri Johor. Kerana ia sebenarnya menunjukkan kelemahan dan ketidakstabilan kerajaan yang menerajui negeri Johor pada masa ini. Kita tahu mereka yang membuat bising dengan provokasi politik hari ini yang kononnya mahu mempercepatkan pilihan raya umum atau pilihan raya negeri. Ini adalah golongan yang kalah pada PRU14 yang lalu. Mereka ini tidak ada sebarang jawatan dan tempat digelar kerajaan hari ini. Sebab itulah mereka mahu adakan PRU dengan segera kerana mereka ingin mencuba nasib di dalam pilihan raya untuk membolehkan mereka mendapat jawatan sekiranya menang nanti.
Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri yang merupakan pemimpin parti di dalam parti masing-masing, saya memohon agar Yang Berhormat semua menasihatkan ahli dan pimpinan parti menghentikan segala provokasi politik yang boleh mencetuskan ketidakstabilan politik ini. Kita harus menghormati rakyat yang sedang bergelut dengan kesusahan hidup akibat kesan daripada musibah COVID-19 ini. Bahkan paling penting kita harus menghormati segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang sedang membawa negara keluar daripada COVID 19 ini.
Terima kasih Yang Berhormat, dah habis masa Yang Berhormat.
Saya ada satu muka lagi tapi walau macam mana saya akur dengan perintah Yang Berhormat Tuan Speaker. Jadi, saya bagi satu pantun. Orang tua jalan bertongkat, rimba jauh nampak dekat, kalau kita sudah sepakat, harimau di hutan dapat kita ikat. (Dewan bertepuk). Wabillahi taufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Harimau tu belah mana Yang Berhormat.
Dekat Kempas banyak.
Ok, Yang Berhormat Parit Yaani, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Selawat). Yang Berbahagia Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan sekalian. Alhamdulillah, akhirnya Dewan ini dapat bersidang seperti biasa selepas pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada kerajaan tebuk atap, seperti kenyataan Ahli Parlimen Marang atau Perikatan Nasional.
Sepertimana semua sedia maklum, sepanjang tempoh PKP, Dewan tidak bersidang seperti biasa. Seandainya Dewan bersidang seperti biasa, fungsi Dewan yang mulia tempat di mana Wakil Rakyat berbahas segala berkaitan kepentingan rakyat dan negeri diadakan secara bebas tanpa kekangan masa yang terbatas. Kerajaan PH sering digelar dengan pelbagai gelaran antaranya kerajaan kencing, hancing dan munafik atas alasan kononnya gagal menunaikan janji. Bagaimanapun, dengan mereka yang tidak ada janji tetapi menjadi kerajaan tanpa mandat rakyat seperti yang disebut sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, adakah cukup atas alasan kami orang yang bertanggungjawab terhadap rakyat? Jika begitu, pada pilihan raya akan datang, parti tidak perlu mengemukakan sebarang manifesto. Jika ada manifesto pun, selepas menang boleh terus campak manifesto semata-mata atas alasan demi rakyat.
Usaha keras kerajaan PH memastikan semak imbang dalam pengurusan negara terbantut setelah usul mengehadkan tempoh Perdana Menteri ditarik balik oleh kerajaan PN tanpa sebarang alasan. Langkah membatalkan usul mengehadkan tempoh penggal Perdana Menteri ini wajar dilihat sebagai langkah undur ke belakang, kerana, hari ini negara-negara lain telah mengehadkan tempoh ketua negara masing-masing hanya dua penggal untuk menyaksikan kesan positif terhadap urus tadbir negara. Kita telah mempunyai pengalaman apabila tiada tempoh pemerintahan ketua negara, tidak mustahil jika kes-kes seperti 1MDB boleh berulang kembali. Insya-Allah kita berhasrat mengehadkan tempoh Menteri Besar kepada 2 penggal, jika diizinkan kembali mentadbir negeri Johor.
Kerajaan PH juga telah memulakan inisiatif memperkasa Dewan yang mulia, agar kuasa tidak terlalu berpaksi kepada Ketua Legislatif atau barisan EXCO tetapi juga kepada mereka yang mewakili rakyat. Kita maklum, sebelum ini persidangan hanya dibuat dalam jangka masa setengah hari, sedangkan kepentingan untuk membahaskan peruntukan tambahan kepada rakyat ketika musim perintah kawalan pergerakan amatlah diperlukan bagi Ahli Dewan mengetahui perbelanjaan serta sumber kerajaan. Namun perkara itu telah berlalu. Hari ini kita dapat bersidang seperti biasa selepas kerajaan PH dirampas di tengah jalan, di mana ia banyak menyusahkan rakyat dalam menghadapi situasi genting seperti mana pertukaran pegawai-pegawai termasuk ketua kampung yang ditamatkan dalam tempoh yang sepatutnya pada 31 Disember. Sehingga menyebabkan rata-rata penduduk kampung yang terjejas tertanya-tanya siapakah individu yang dapat membantu menguruskan soal kebajikan mereka. Inilah hasilnya apabila setengah golongan yang mengkhianati mandat rakyat dan ada golongan yang lain yang mengambil kesempatan untuk berkuasa negeri dan negara tanpa menghiraukan kesan yang akan dialami oleh rakyat, walaupun sebenarnya mereka kalah dalam PRU yang lepas.
Tuan Speaker, pencapaian PH Johor. Sebelum ini, di bawah pemerintahan PH negeri Johor, kita telah menjalankan pelbagai kebajikan yang memberi kesan baik kepada rakyat khasnya golongan B40, seperti Kad Sihat, pemilikan rumah biaya secara undian bukan lagi secara terus kepada ahli sesuatu parti. Penghapusan KMK, Kuota Menegak Kerajaan, Takaful Warga Emas, 10 meter padu air percuma dan pelbagai lagi kemudahan khusus yang tidak pernah dilakukan sepanjang 60 tahun pentadbiran kerajaan BN terdahulu, namun dapat dilaksanakan ketika PH memerintah termasuk penubuhan Universiti Johor yang sedang dalam proses pembangunan. Ini satu perkara yang baik kerana usaha demi menjaga rakyat Johor walaupun terdapat sabotaj di kalangan mereka yang berkepentingan sewaktu kumpulan tersebut berada di dalam kerajaan PH. Tetapi kita berusaha untuk menjayakan objektif atau tawaran PH Johor sewaktu kempen PRU14 yang disasarkan demi kemakmuran rakyat.
Hal ini satu kebanggaan yang diperolehi oleh kepimpinan di bawah PH dan saya berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh kerajaan yang sedia ada pada waktu ini demi memartabatkan rakyat yang menantikan harapan di dalam kesusahan dan cabaran yang dihadapi ketika ini. Umumnya, rakyat hari ini merasai COVID-19 yang berlaku dan terus kita tidak tahu sampai bila. Proses untuk memakmurkan rakyat perlu diteruskan. Walaupun kerajaan baru ini tidak meletakkan sebarang manifesto yang boleh dijadikan panduan komitmen mereka secara bersungguh kepada rakyat. Perkara ini dibimbangi akan menjadi alasan kepada pihak pemerintah hari ini untuk mengelak dari melakukan sebarang kemajuan dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat teramai.
Urus tadbir yang baik dan telus. Tuan Speaker, sebagai satu langkah urus tadbir yang baik dan telus, saya ingin mencadangkan seperti amalan sebelum ini. Waktu pentadbiran Pakatan Harapan, kita tidak membenarkan mana-mana individu untuk memegang lebih dari satu lantikan bergaji yang dibayar dari akaun kerajaan. Hari ini, saya mendapat maklumat, Parit Yaani mendapat maklumat bahawa dasar ini tidak lagi diamalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Sebagai contoh, ada Ahli Majlis dia juga penyelaras DUN. Urus tadbir yang pincang juga berlaku di peringkat persekutuan apabila terdapat Menteri yang melanggar perintah kuarantin, tetapi denda atau kompaun yang dikenakan kepadanya tidak setimpal dengan hukuman yang dikenakan kepada rakyat biasa. Amalan ini adalah suatu yang tidak patut dilakukan apatah lagi mereka yang kononnya menggunakan perlembagaan, perlambangan Melayu dan Islam sebagai asas perjuangan mereka kerana, ini memberikan gambaran cacat kedua-dua institusi berkenaan.
Kepentingan kestabilan politik. Tuan Speaker, kita semua sedar kepentingan kestabilan politik yang seharusnya menjadi tonggak pengukuhan institusi kepimpinan dalam menjaga rakyat di negeri ini. Keadaan politik yang tidak stabil sepertimana yang berlaku pada hari ini, akan membuatkan pelbagai agenda yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat akan tidak tercapai dengan sempurna. Ketidakstabilan ini membuatkan kepimpinan negeri terpaksa bekerja keras menjaga hati sahabat mereka agar tidak berpaling tadah sehingga menjejaskan kerajaan yang ada hari ini. Justeru itu, bagaimana rakyat akan menikmati pemerintahan yang tidak, pemerintahan yang baik sekiranya perkara ini terus berlaku. Inilah akibatnya bila kerajaan dirampas di tengah jalan. Bukan melalui demokrasi yang sepatutnya. Hari ini, kelompok-kelompok ini sibuk menjerit dan mendesak untuk mengadakan pilihan raya sedangkan mereka yang menjerit itulah yang merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya tersebut dengan merampasnya di tengah jalan. Pastinya selepas ini sekiranya mereka kalah, amalan jual beli Wakil Rakyat ini akan berlangsung lagi, dan sekali lagi kerajaan akan berubah dan menanggung kesannya adalah rakyat kerana kestabilan politik itu tidak terzahir apabila keutamaan telah dihalakan ke arah kepentingan ADUN atau Parlimen demi untuk membeli sokongan mereka. Suara rakyat pastinya mati, dan tidak didengari akibat dari keutamaan kerajaan hanya fokus kepada Wakil-Wakil Rakyat
yang melompat, inilah persoalan yang kita mahu agar Dewan yang mulia ini mewujudkan undang-undang untuk menghalang Wakil Rakyat bertukar parti secara sesuka hati.
Parit Yaani yakin kita semua mahu agar hak dan kepentingan rakyat terus dipelihara dan bukan kepentingan segelintir pemimpin sahaja yang perlu diutamakan. Rakyat kini dilihat seperti tidak menjadi kepentingan kerajaan apabila mereka kini lebih sibuk menjaga bilangan ADUN berbanding menjaga kepentingan dan periuk nasi rakyat keseluruhannya. Suasana ini akan membuatkan agenda membangunkan rakyat semakin jauh ketinggalan. Apatah lagi, dalam keadaan rakyat sangat memerlukan bantuan dari pihak kerajaan kerana musibah COVID-19 yang melanda negara. Pembaziran pastinya berlaku dalam menjaga prioriti kedudukan Menteri Besar dan barisan EXCO serta memilih kehendak dari pihak yang mungkin berpaling tadah dari mereka. Parit Yaani menyeru kerajaan agar hak dan kepentingan rakyat terus diutamakan dan dipulihkan semula sistem demokrasi yang rosak apabila rampasan kuasa ini dilakukan oleh mereka atau kerajaan tebuk atap ini.
Masa dah 10 minit Yang Berhormat. Boleh simpulkan.
Fokus ekonomi. Tuan Speaker, dalam kesempitan ini, Parit Yaani ingin memohon agar Dewan yang mulia ini menambahkan peruntukan kepada program up skilling dan re-skilling daripada RM600,000.00 kepada RM6 juta. Kenapa? Kerana isu kekurangan pendapatan bagi mereka yang bekerja sendiri, pemotongan gaji bagi mereka yang bekerja swasta. Bahkan ada yang kehilangan pekerjaan kerana wabak COVID-19 yang melanda dunia sekarang ini. Parit Yaani juga mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan peruntukan kepada, khusus kepada ADUN yang mana perkara tersebut akan dikembalikan kepada rakyat. Peruntukan ini juga harus diberikan kepada semua ADUN bukan sahaja kepada ADUN kerajaan termasuk ADUN pembangkang sesuai dengan peranan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada wakil-wakil mereka.
Tuan Speaker, kita maklum sebelum ini kerajaan telah mewujudkan beberapa inisiatif terhadap rakyat yang terkesan akibat COVID-19. Sebab itu, PH memberikan sokongan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor kerana kita yakin dan percaya ini dapat diberikan untuk mereka iaitu rakyat seluruhnya. Selain itu, kerajaan juga diharap agar lebih bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan. Kami mengharapkan agar kerajaan mendapatkan maklumat terperinci dari agensi-agensi dan jabatan untuk mendapatkan rekod mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat tersebut. Kerajaan tidak seharusnya mendiamkan diri dan membiarkan perkara ini menjadi barah sehingga rakyat hari ini terpaksa melakukan kerja-kerja yang melanggar undang-undang demi sesuap nasi akibat dari kehilangan punca pendapatan. Rakyat memerlukan pemimpin yang ikhlas dalam isu untuk kesinambungan kehidupan mereka, bukan seorang tukang karut yang hanya pandai bermain wayang kulit yang menceritakan soal bangsa dan agama, Parit Yaani menyeru agar kerajaan perlu serius dalam menangani masalah ini.
Tuan Speaker, Parit Yaani ingin mengingatkan agar Dewan yang mulia ini menolak sebarang anasir dan cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat, menghancurkan keharmonian pelbagai kaum dan bangsa yang sekian lama telah wujud di negara ini. Parit Yaani ingin menyatakan bahawa rakyat perlu diutamakan apabila dalam keadaan yang semakin mendesak ini rakyat lebih memerlukan perhatian dari pihak kerajaan. Parit Yaani juga ingin mengingatkan kerajaan agar tidak angkuh dan dengan kuasa yang ada pada mereka sekarang ini dan kerajaan perlu berlapang dada serta berjiwa besar untuk sedia mendengar serta bekerjasama dan berbincang dengan semua pihak bagi membangunkan serta menjaga rakyat negeri kita. Janganlah seperti memagar diri bagai aur yang hanya mementingkan diri sendiri sehingga terlupa akan tanggungjawab yang dipikulkan. Penutupnya, saya baca beberapa pantun, saya ini tidak pandai pantun tapi orang dah tulis
kena baca pula. Jika sempat menghalang belida, ikan dipukat lebih mencelah, jika khianat bersarang di dada, hubungan erat boleh terbelah. Resah pawang mengacip paku, pari mengubat puteri pingitan, apalah malang nasib bangsaku, dengki khianat menjadi amalan. Mandi sekerat puan berkemban, dara berlegar terus ke ampai, dengki khianat amalan syaitan, kenapa penawar terus terabai. Ikan belanak di tutup saji, saji dianyam oleh Pak Mahat, orang khianat jangan dipuji, makin dipuji makin jahat. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Terlebih dahulu bagi pihak kerajaan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, yang sejak kita bersidang selama dua hari ini, telah dapat mengendalikan Persidangan dengan cara yang penuh profesional dan penuh keadilan. Tahniah, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. (Dewan bertepuk). Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Kempas dan juga Yang Berhormat Parit Yaani di atas teguran-teguran dan juga perkara-perkara yang dibangkitkan. Saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri komited dan akan bersungguh-sungguh dalam menjalankan apa juga tanggungjawab yang ada di atas bahu kita bersama. Perkara-perkara yang dibangkitkan sama ada menyentuh tentang soal pengangguran, soal menyegerakan pelantikan-pelantikan, termasuklah untuk membela nasib pekerja-pekerja yang hilang ataupun yang berhadapan dengan pelbagai tekanan sehingga kita perlu melihat kepada aspek kaunseling, sama ada kita perlu melihat kepada peluang-peluang untuk disediakan kepada semua pihak yang terjejas akibat COVID-19 ini, insya-Allah akan kita laksanakan dalam keadaan yang sebaik-baik mungkin. Jenayah juga merupakan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kempas, percayalah bahawa negeri Johor ini kita ada seorang Ketua Polis, Dato’ Ayub Khan yang hari-hari bercakap di media akhbar dan juga di media elektronik, begitu popular Ketua Polis Johor kita ini dalam membanteras pelbagai jenayah. Kita mengambil maklum tentang berita baharu-baharu ini 177 orang pelajar yang didapati positif dadah, ujian dadah, ini juga merupakan cabaran kepada kita supaya sama-sama dapat kita lihat perkara ini dan kita carikan jalan penyelesaiannya.
Saya berterima kasih atas apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang dari Parit Yaani dan tentunya perkara-perkara yang dibangkitkan itu tidaklah begitu sukar untuk sama-sama kita laksanakan, insya-Allah. Saya juga seperti Yang Berhormat Parit Yaani, tidaklah berapa reti untuk berpantun hanya sekadar ada rakan-rakan saya yang memberi saya bait-bait pantun. Berjuanglah cara Johor, silaturahim yang murni, di mulut sama di hati, maaf senantiasa bersahut, tangan dihulur bersambut, luka pun tidak lagi berparut. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. (Dewan bertepuk).
Ok, terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarahkatuh.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.45 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf, SIJ., PIS.
Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad
Koordinator Puan Hajah Norela binti Osman
Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Sumirono Puan Junaidah binti Paing Puan Nor Dalilah binti Dahlan Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Fareza binti Musa Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norlydialina binti Isnin Puan Norazilawati binti Masri Puan Siti Rohani binti Ahmad Suhaimi Puan Raihanah binti Ismail
Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md. Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar