Johor · 26 November 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 14 turns · 12,572 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Majlis Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2021 Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-14. Persidangan kali ini akan mengambil masa selama 7 hari sehingga 6 Disember 2020.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sempena ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim pada 22 November 2020. Patik dan seluruh Ahli Dewan Negeri merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan untuk terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan Negeri Johor Darul Takzim. Semoga negeri Johor Darul Takzim juga akan terus makmur, aman di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada pagi ini juga kita akan mendengar pembentangan Belanjawan 2021 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Pembentangan Belanjawan ini juga boleh diikuti melalui live streaming di Facebook rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.
Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 34 hingga 39 tahun 2020.
Bilangan 34 Tahun 2020 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Ketiga Tahun 2020.
Bilangan 35 Tahun 2020 - Laporan Jawatankuasa Belanjawan Negeri Mengenai Peranggaran Negeri Johor Tahun 2021.
Bilangan 36 Tahun 2020 - Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2021.
Bilangan 37 Tahun 2020 - Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 dan Penyata Memorandum mengenai :
• Pengurusan Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2018 Siri 3.
Bilangan 38 Tahun 2020 - Resolusi Untuk Menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Terimaan Dana Daripada Kerajaan.
Bilangan 39 Tahun 2020 - Resolusi Untuk Menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta
61) Bagi Tujuan Pembangunan Dan Penyelenggaraan Perumahan Negeri Johor.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020.Bill
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa Rundingan menurut Peraturan Tetap 15(3) supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dikemukakan sekarang tanpa mengikut Susunan Perkara-Perkara Mesyuarat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dikemukakan sekarang.
Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dibaca kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang pertama.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2021 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan untuk tahun itu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang kedua sekarang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW kepada keluarga dan sahabat baginda, tabiin dan para ulama’, semoga memperoleh ihsan Allah di hari pengadilan kelak.
Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah, menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim, sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiul Akhir 1442 Hijriah.
Saya mohon izin Dewan yang mulia ini untuk membentangkan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi Tahun 2021 atau Belanjawan Negeri Johor 2021. Belanjawan ini dirangka dalam saat paling getir dan mencabar bagi negeri Johor. Saat yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana kerajaan Johor Moden yang terdahulu. Kita benar-benar berada dalam a very unprecedented circumstances, dengan izin. Bukan sahaja kita berhadapan dengan pandemik yang merbahaya tetapi nadi ekonomi kita hampir terhenti kerana penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan yang bersilih ganti. Semua ini perlu berlaku dalam keadaan harga minyak global berada pada paras terendah dan iklim politik negara yang tidak stabil. Globalisasi pula is in the state of retreat, dengan izin akibat pintu-pintu sempadan antarabangsa majoritinya masih lagi ditutup.
Johor sangat terkesan dengan semua ini. Ekonomi kita menguncup, pengangguran kita meningkat, pelaburan baru kita berkurangan, perniagaan terpaksa menghentikan operasi, kuasa beli rakyat semakin merosot dan kutipan hasil negeri terjejas dengan teruk. Namun, tugas sebenar kerajaan negeri ialah mengurus keadaan ini dengan sebaik-baiknya dalam apa jua keadaan, walau sebesar mana pun konflik dan krisis yang tiba, tiada kerajaan yang patut tewas dan mengalah. Insya-Allah, kerajaan negeri Johor akan sedaya upaya memaparkan keupayaannya untuk menangani apa jua gelora yang menghimpit. Bagi saya, rakan-rakan EXCO dan penjawat awam negeri, apa yang Johor sedang lalui kini adalah the real test of leadership. And i believe we will collectively overcome it, dengan izin.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada hari yang penting ini, saya ingin membentangkan Belanjawan negeri Johor bagi tahun 2021. Belanjawan yang akan menguruskan krisis dan membendung himpitan yang sedang dialami rakyat di luar Dewan ini. Sebelum itu saya ingin membuat penegasan yang sangat penting dan sepenuh jujur.
Pertama, tiada kerajaan yang mampu memberikan segalanya kepada semuanya dengan sebanyaknya tatkala berada dalam himpitan yang luar biasa waktu ini. Walaupun begitu, kerajaan ini akan cuba sedaya upayanya untuk memberikan kepada semua segala bantuan dan rangsangan yang selayaknya dalam sedikit atau sebanyaknya sesuai kemampuan kerajaan yang ada. Itulah komitmen kita.
Kedua, belanjawan ini perlaksanaan dan keberkesanannya sangat tergantung kepada tiga perkara iaitu secepat mana pandemik ini akan berakhir, sepantas mana sempadan Johor akan dibuka dan sekerap mana perintah kawalan pergerakan akan dilaksanakan pada masa hadapan.
Ketiga, belanjawan ini bukanlah pengakhiran. Ia adalah permulaan dan penerusan kepada segala usaha kita dalam membantu mereka yang terjejas. Dan, setiap kali kita membantu, we will be better and we will overcome our weaknesses, Insya-Allah, kerana zaman kerajaan tahu semua perkara tidak patut wujud dalam konteks semasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pentadbiran saya tidak akan berselindung dengan retorika bahawa segalanya akan menjadi baik dan segalanya akan mampu kerajaan uruskan. Pentadbiran saya akur bahawa ada perkara yang di luar kawalan kerajaan kerana itulah kita akan sentiasa bersifat realistik dan bertanggungjawab. Saya juga ingin menyeru semua Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, agar bersolidariti demi Johor yang sangat kita cintai. Inilah waktunya untuk kita membuktikan bahawa ideologi yang berbeza, fahaman politik yang berlainan dan pendirian kita yang pelbagai tidak akan mengatasi kecintaan kita kepada negeri Johor Darul Ta’zim.
Bahawa pada hari ini kita semua bersidang dalam semangat bermuafakat. Kita adalah rakyat Johor. Kita adalah Bangsa Johor. Atas rasa simpati dan penuh kesedaran, maka kerajaan Johor melalui Southern Volunteers akan menghantar bakul makanan bagi rakyat Johor dan Malaysia yang terkandas di Singapura. Usaha ini dilakukan bersama-sama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Malaysia Singapore Association.
Dan, dengan didorong semangat yang patriotik kepada negeri Johor Darul Takzim, kita boleh mengemukakan Belanjawan Johor 2021 ini sebagai usaha bersama demi kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi negeri kita.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tema Belanjawan Johor 2021 adalah “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Ini selari dengan keadaan semasa setiap batang tubuh rakyat Johor di luar sana. Mereka sedaya upaya berpegang kepada apa yang ada demi kelangsungan hidup hari esok yang entah siapa tahu pengakhirannya. Kita harus berterima kasih kepada
Pentadbiran yang terdahulu, yang telah mewariskan kita sumber-sumber yang mungkin tidaklah banyak tetapi mencukupi. Cukup untuk kita mengharungi ujian ini dengan yakin dan cermat. Saya yakin dan pasti kisah-kisah kemakmuran negeri Johor akan kita ulangi bersama sekali lagi. Iaitu kisah-kisah kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.
Namun begitu, sekarang adalah masa untuk kita berdaya tahan, sekuat dan semampu boleh. Sekarang juga adalah masa untuk kita menumpukan sepenuh sumber yang ada bagi menata cara-cara baru untuk menggapai kemakmuran bersama, insya-Allah seusai semua musibah ini berlalu pergi nanti. Maka segala pertimbangan dalam Belanjawan 2021 dipandu oleh tiga objektif utama. Objektif-objektif ini bertujuan untuk sedikit sebanyak memberi bantuan dan pengupayaan kepada semua untuk menempuhi masa yang getir ketika ini.
1. Menjamin ketahanan dan kelangsungan ekonomi.
2. Memperkasa dan memperdaya tahan kebajikan rakyat Johor dan
3. Menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, adalah sangat sukar untuk membuat unjuran, ramalan dan membangun senario ekonomi untuk tahun 2021. Ini kerana Johor, Malaysia malah seluruh dunia terus berada dalam keadaan ketidaktentuan. Kita tidak tahu bilakah pandemik ini akan berakhir. Bilakah Malaysia akan menerima vaksin dan secepat manakah vaksinasi dapat dilaksanakan setelah ditemui kelak. Bilakah sempadan negara akan dibuka dan setakat manakah hasil boleh dikutip dalam keadaan yang tidak menentu ini. Pemulihan ekonomi global akan kekal tidak sekata dalam tempoh terdekat. Prestasi ekonomi antarabangsa tahun 2021 masih dan akan terkesan oleh lanjutan kejutan permintaan dan penawaran atau demand and supply shock, dengan izin.
Penutupan sempadan, kejatuhan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta kelumpuhan pasaran maju. Ringkasnya, kita bukan sahaja berhadapan dengan the new great depression tetapi kita sedang menghadapi era slowbalisation iaitu era penguncupan, era kelembapan dan era penyusutan mega secara global. Bank Dunia pula meramalkan bahawa seramai 115 juta penduduk dunia dijangka terjerumus ke dalam lembah kemiskinan pada tahun 2020. Menjelang tahun 2021 pula, seramai 150 juta penduduk dunia akan terperangkap dalam kemelut kemiskinan melampau dengan pendapatan kurang daripada USD1.90 atau RM7.89 sehari.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun tidak terkecuali daripada menerima impak cross crisis economy ini. Kesannya, setakat September 2020 sebanyak 32,000 perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara telah menamatkan operasi mereka, dalam bahasa mudah mereka sudah tutup kedai. Ia dijangka akan bertambah buruk dan bakal mengakibatkan ratusan ribu rakyat hilang pekerjaan. Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan bakal menyusut sebanyak 4.5% pada tahun 2020. Ia akan kembali pulih pada tahun 2021 pada kadar 6.5% - 7.5%. Namun begitu, ada pakar ekonomi yang tidak sependapat dengan angka tersebut kerana ia adalah terlalu optimistik. Lebih-lebih lagi disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sentiasa bersilih ganti dan on and off akibat usaha mengekang COVID-19. Tambahan lagi, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah meramalkan bahawa gelombang ketiga COVID-19 bakal melambatkan ekonomi negara hingga ke suku pertama tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sesungguhnya perjalanan pemulihan ekonomi negeri Johor masih lagi jauh. Kita amat terkesan dengan gelombang ketiga pandemik ini. Melalui pelaksanaan semula PKP serta sempadan negara yang masih belum dibuka sepenuhnya. Lihat sahajalah ekonomi negeri Johor pada tahun 2020, diunjurkan menyusut sebanyak 3%
hingga 5%. Ia adalah lebih teruk daripada penyusutan nasional. Ini kerana kebergantungan dinamik Johor kepada aktiviti rentas sempadan dan perdagangan antarabangsa, juga kesan limpahan daripada kemelesetan ekonomi Singapura serta momentum pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun 2019 yang hanya pada kadar 2.7% sahaja.
Yang amat membimbangkan, dianggarkan 5% hingga 10% PKS di negeri Johor terpaksa tutup perniagaan akibat gangguan aliran tunai. Jelasnya, penutupan sempadan negara telah mengakibatkan permintaan menjunam dan persekitaran ekonomi menjadi semakin suram. Johor harus mengakui bahawa ekonominya akan mengalami keluk pemulihan berbentuk-K. Sesetengah industri memaparkan pemulihan manakala industri lain terus jatuh merudum. Contohnya, sektor pelancongan dan sektor penerbangan merupakan sektor yang semakin terkesan pada ketika ini. Sebaliknya, sektor pertanian, sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan kewangan dan industri ICT sedang dan akan terus memaparkan pemulihan yang ketara. Pemulihan keluk-K juga ini amat nyata dalam kalangan masyarakat. Misalnya, golongan B40, M40 dan mereka yang bekerja sendiri mahupun yang telah kehilangan mata pencarian secara langsung kualiti kehidupan mereka juga tergugat dan jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara. Insiden Kemiskinan Mutlak Negeri Johor ataupun poverty incidence yang direkodkan pada kadar 3.9% pada tahun 2019 dijangka akan meningkat sehingga kadar 6%-8% pada tahun 2020. Insiden Kemiskinan Tegar pula yang sebelum ini pada kadar 0.2%, akan meningkat sehingga 2%-2.5% pada tahun 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kadar pertumbuhan ekonomi negeri Johor bergantung kepada 5 faktor:
1. Kecekapan kita dalam mengekang gelombang pandemik baru yang berlaku di
Johor. 2. Pembukaan atau penutupan berterusan sempadan antarabangsa kita. 3. Pemulihan ekonomi negara Singapura. 4. Prestasi ekonomi negara rakan dagang negeri Johor. 5. Dasar serta suntikan baru daripada kerajaan persekutuan.
Kesemua ini membentuk satu latar dan asas yang memaparkan kepentingan dan kegentingan Belanjawan 2021. Atas dasar itu, saya ingin menegaskan yang kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, pemimpin komuniti, setiap rakyat Johor malah antara ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang sangat diperlukan untuk membangunkan kembali ekonomi negeri. Berbekal muafakat dan kesungguhan kita bersama, saya percaya bahawa negeri Johor boleh mencapai pertumbuhan ekonomi sekitar 6.6% hingga 7.6% pada tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, strategi pemulihan ekonomi negeri Johor akan dipacu oleh 3 Agenda. Ketiga-tiga Agenda ini akan menjadi catalyst pada usaha pemulihan dan ketahanan ekonomi kita. Ianya adalah:
1. Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor atau Johor Food Security
Agenda dengan izin. 2. Agenda Johor Digital. 3. Penubuhan Johor Economic, Trade and Cultural Office di Singapura.
Ramai yang bertanya mengapa agenda bekalan jaminan makanan, why food security, dengan izin. Ada apa dengan sektor pertanian tatkala landskap ekonomi global berhadapan dengan kelembapan berikutan impak COVID-19 dan Global Trade War? Di sini saya utarakan beberapa fakta berkenaan sektor pertanian dan industri makanan di Johor. Johor merupakan pengeluar terbesar beberapa produk makanan utama negara seperti ayam
pedaging pada RM284 juta iaitu 23.3% daripada pengeluaran dalam negara dan 1.638 juta metrik tan buah-buahan iaitu 35% daripada pengeluaran dalam negara.
Johor juga merupakan pengeksport utama produk pertanian ke negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Timur Tengah. Ke Singapura sahaja, jumlah eksport pertanian kita mencecah RM8.17 bilion iaitu USD 2 bilion setiap tahun. Ini menandakan jika perancangan teliti dijalankan bagi menentukan the right crops and right products dengan izin, nilai eksport akan meningkat dengan ketara dan menjana pendapatan baru bagi negeri kita.
Johor juga bukan sahaja berada di kedudukan yang strategik malah mempunyai aset semula jadi seperti tanah yang subur serta tenaga kerja yang sedia ada. Terdapat lebih kurang 160,000 usahawan dalam sektor pertanian dan industri makanan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada wira yang tidak didendang iaitu usahawan sektor pertanian. Mereka telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 16.2% bersamaan dengan RM16.25 bilion. Bayangkanlah, jika segala potensi sektor pertanian dan industri makanan negeri Johor ini dapat digembleng, diperkemas dan ditambah nilai dan dipacu pula dengan Advanced Agri Tech dengan izin, serta kerjasama awam dan swasta ia dapat menjadi antara sumber hasil terbesar kerajaan negeri pada masa hadapan. Namun begitu, sektor ini harus diberi pendekatan yang berbeza, ia perlu diberi nafas baru yang lebih segar dan sesuai. Apakah pendekatan-pendekatan yang ditekankan dalam menjayakan agenda ini?
Pendekatan pertama, agriculture is a game of volume. Intervensi dalam rantaian nilai pertanian melalui penggunaan teknologi dan pengoptimuman, penggunaan aset semula jadi seperti tanah, tenaga kerja dan infrastruktur yang berkaitan dijangka dapat meningkatkan jumlah pengeluaran makanan yang berkualiti secara berfasa.
Kedua, memaksimumkan potensi negeri Johor sebagai destinasi bagi pelabur luar dan pemain industri yang strategik. Ia membolehkan kerajaan negeri mengambil peluang dalam membangunkan Projek Catalytic yang memberikan impak lebih besar dari segi komersial dan faedah sosioekonomi. Pelaburan dari negara Singapura, Timur Tengah dan China adalah antara potensi yang boleh diterokai.
Pendekatan-pendekatan yang ditekankan untuk menjayakan agenda ini yang ketiganya ialah:
Peluang pekerjaan baru yang bernilai tinggi terutama sekali dalam bidang pertanian moden, agro ekologi, agro pelancongan, agri business marketplaces, bio-teknologi dan industri hiliran bagi sektor makanan. Bagi agenda bekalan makanan ini beberapa langkah awal kerajaan negeri yang merangkumi :
1. Penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri yang melibatkan pihak
berkepentingan seperti agensi kerajaan mahupun pemain industri bagi
memastikan rancangan dasar Agro Makanan Negeri Johor dan strategi
pelaksanaan setiap inisiatif berjalan dengan lancar.
2. Kerajaan negeri akan memberikan galakkan dalam bentuk insentif tertentu
bagi mengoptimumkan penggunaan mana-mana tanah yang berada di bawah zon
tanaman kekal pengeluaran makanan, zon pelaburan makanan negeri dan zon
tanaman makanan bagi tujuan pemakanan.
Sama ada yang telah
diusahakan atau yang masih belum masih lagi diusahakan.
3. Kerajaan negeri telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan dengan suntikan dana tambahan secara terus sebanyak RM35 juta
melalui PENJANA. Peruntukan ini akan diterjemahkan dalam beberapa bentuk inisiatif di bawah Strategi Johor Tani. Jutaan terima kasih diucapkan kepada kerajaan persekutuan.
4. Kita akan akur bahawa penyertaan pihak swasta dan pelabur-pelabur adalah penting dalam menjadikan sektor ini moden, dinamik dan berdaya saing. Bagi tujuan ini kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa pihak sama ada agensi di peringkat persekutuan mahupun pemain industri dalam usaha untuk meningkatkan nilai komersial industri hiliran makanan dan market access bagi produk made in Johor.
Selain daripada itu, dalam usaha pengurusan tanah yang merupakan aset utama sektor ini, beberapa inisiatif akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Inisiatif pengurangan 50% daripada denda ubah syarat melalui Program Pemutihan, Approval Over Submission (AOS) Pertanian kepada Pertanian (POKOK) akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021. Seramai 16,857 pekebun kecil akan mendapat manfaat dengan pengurangan denda sebanyak RM8.2 juta daripada kerajaan negeri. Inisiatif ini dapat membantu pekebun yang mengusahakan tanah di bawah 10 ekar untuk memperolehi lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Pensijilan Malaysia, Sustainable Palm Oil (MSPO). Inisiatif ini juga terbuka bagi semua jenis pertanian dan tidak terhad kepada permohonan penukaran syarat nyata kepada kelapa sawit sahaja. Kita dapat lihat sumber ekonomi negara barat yang maju seperti Belanda bergantung sepenuhnya dengan sektor pertanian dan makanan. Mereka telah mempelopori penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan pemasaran komersial. Dengan langkah awalan di atas, saya yakin Agenda Jaminan Bekalan Makanan ini merupakan pemangkin sumber ekonomi baru negeri Johor dengan usaha sama semua pihak.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sejak pandemik COVID-19 mula menular, teknologi digital telah memberikan kemudahan kepada orang untuk terus melangsungkan kehidupan. Pandemik COVID-19 telah merevolusikan cara kita bekerja, cara kita berhubung, pergi ke sekolah dan membeli barang keperluan harian. Pandemik ini yang kita hadapi telah menjadi pemangkin terbesar untuk kerajaan negeri dan sektor swasta mentransformasikan tata kelola mereka ke arah digital. Oleh itu, kesediaan digital tidak lagi menjadi pilihan. Perubahan ke arah era pendigitalan bukan lagi satu paksaan. Ia mesti dilakukan sekarang. Embracing the digital agenda is a must and a necessity. It is not a luxury, not even a choice, dengan izin. Untuk itu, sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri Johor untuk melaksanakan agenda Johor Digital. Satu agenda disokong demi meraih laba daripada manfaat yang datang bersama agenda ini. Saya berhasrat, menerusi agenda Johor Digital ini, rakyat Johor dan negeri akan memperoleh 3 tempias seperti berikut :
1. Ekonomi Johor akan lebih pesat membangun dipacu oleh ekonomi digital. Apabila ekosistem ekonomi digital sudah menjadi kebiasaan kepada semua, kerajaan negeri akan mendapat sumber hasil baru yang konsisten dan berhasil.
2. Agenda Johor Digital akan memberikan limpahan sosioekonomi kepada rakyat Johor. Bagaimana? Setiap tindakan, dasar dan polisi kerajaan sama ada di peringkat yang paling bawah hingga yang teratas akan berpandukan data. Maka rakyat sudah tidak perlu khuatir mengenai ketirisan, kronisme dan amalan pilih bulu dalam inisiatif-inisiatif kerajaan.
3. Agenda Digital Johor akan dibangunkan dengan melibatkan semua pemegang taruh, semua komuniti perniagaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan. Tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan dan komitmen Johor, bahawa Johor mampu menyediakan infrastruktur dan untuk menarik pelaburan-pelaburan mereka.
4. Agenda Johor Digital akan memberikan tempias langsung kepada sektor modal insan Johor. Bagaimana? Lebih banyak pekerjaan yang bakal dicipta dan lebih banyak peluang untuk anak-anak Johor pulang ke negeri dan berkhidmat di sini. Sudah tentu, peluang pekerjaan akan wujud bukanlah sedikit dan tidak bergaji kecil. Saya ingin memberi jaminan bahawa dalam tahun hadapan, kita akan benar-benar boleh #LuaskanKuasaDigital. Apa caranya?
i. Kerajaan negeri dalam perancangan untuk menjadikan kawasan Medini dan Educity di Iskandar Puteri sebagai hab digital Johor. Infrastruktur-infrastruktur yang merangsang ekonomi digital akan dibina. Inisiatif-inisiatif kepada individu dan pemain-pemain industri juga akan giat diberikan.
ii. Menubuhkan Majlis Digital Johor yang berperanan merangka Pelan Pembangunan Strategik dan Hala tuju Digital Negeri Johor.
iii. Merangka Pelan Induk Digital Negeri Johor yang merangkumi aspek transformasi sektor kerajaan, pemerkasaan industri dan pembudayaan dalam kalangan masyarakat menjelang 2030 dan
iv. Digital Johor Corporation atau DJCorp akan ditubuhkan. Syarikat ini bertindak sebagai institusi pelaksana atau delivery unit dan penyelaras kepada agenda Johor Digital merentasi semua pemegang taruh yang terlibat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pandemik ini juga memberi pengajaran sangat besar tentang pentingnya sektor-sektor ekonomi dan betapa luar biasanya sumbangannya kepada kemajuan ekonomi dan kemakmuran Johor. Sukacita saya mengumumkan bahawa, Johor Economic Tourism and Cultural Office di Singapura telah mendapat persetujuan daripada kerajaan Persekutuan. JETCO, Singapura adalah merupakan entiti yang pertama seumpamanya. Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Luar Negeri kerana menyokong penuh penubuhan pejabat ini. Dengan penubuhan JETCO Singapura ini, Johor telah melangkah ke era baru dalam usaha menarik pelaburan asing ke dalam negeri. Buat masa sekarang, di awal penubuhannya, terdapat dua tugas penting utama entiti ini.
Tugas pertama, JETCO Johor adalah untuk mempromosi prospek pelaburan ke negeri Johor. Tidak kira berapa pun jumlahnya, JETCO Johor akan memudah cara semua jenis pelaburan. Tambahan lagi, penutupan sempadan menyedarkan kita, betapa rumitnya penggantungan beberapa sektor-sektor ekonomi kepada tenaga kerja rentas sempadan. Justeru, Johor akan menggunakan kesempatan ini bagi meyakinkan pemain industri dan komuniti perniagaan Singapura untuk beroperasi di Johor. Sebagai menggandakan usaha ini, fungsi INVEST Johor akan diperhebatkan. INVEST Johor akan bekerja rapat dengan JETCO di Singapura untuk menarik pelaburan terpilih, dari negara-negara seperti China, Taiwan, Jepun dan Korea. Fokus segera ialah menawarkan Johor sebagai destinasi mesra pelabur yang bernilai tinggi. Pada masa yang sama bagi menyokong usaha-usaha di atas, satu kajian secara menyeluruh akan dilaksanakan bagi menyediakan dokumen Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor 2020-2030 yang komprehensif dalam konteks ekonomi semasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Ekonomi sependapat, bahawa do not let this pandemic go to waste. Setiap krisis terutama sekali pandemik akan memberikan peluang kepada umat manusia, mereformasi, memperbetulkan dan memikir kembali strategi survival dan kelangsungan mereka. Maka, apakah strategi survival dan kelangsungan negeri Johor selepas ini? Seperti yang saya sebutkan di atas, kerajaan kita telah membentangkan 3 Impetus Ekonomi Baharu yang bakal mereformasi struktur ekonomi Johor. Namun begitu,
perjalanan yang bakal ditempa masih lagi jauh dan sokongan serta cadangan semua amatlah didambakan seadanya.
Selain daripada itu, bagi memacu pembangunan di kawasan utara Johor, kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi pembangunan Zon Ekonomi Pagoh berkeluasan 4,000 ekar. Zon Ekonomi Pagoh akan menjadi platform bagi syarikat-syarikat gergasi untuk beroperasi dan menjadi penanda aras bagi pembangunan lestari. Antara sektor industri yang diberi tumpuan, termasuklah industri perkayuan dan perabot. Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya melalui penglibatan aktif dalam Majlis Pembangunan Pagoh dan Gambir. Selanjutnya, pembangunan Taman Perindustrian Bukit Gambar seluas 110 ekar di daerah Tangkak juga merupakan projek pemangkin sebagai lanjutan daripada kajian yang telah dijalankan sebelum ini. Taman perindustrian ini akan memberi limpahan kesan ekonomi yang positif kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan utara Johor. Pembangunan ini juga akan memanfaatkan Hab Pendidikan Pagoh yang sedang dibangunkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya, izinkan saya memberikan gambaran kedudukan kewangan negeri Johor bagi tahun 2020. Pada tahun 2021, unjuran hasil negeri Johor adalah sebanyak RM1,609.07 juta. Manakala, unjuran perbelanjaan pada tahun 2021 adalah RM1,857.21 juta. Senario ini menunjukkan bahawa Belanjawan 2021 adalah belanjawan defisit iaitu sebanyak RM248.14 juta. Bagi perbelanjaan mengurus dan merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan jumlahnya adalah RM997.21 juta dan jumlah ini terdiri daripada emolumen, RM513.69 juta dan perbelanjaan-perbelanjaan lain RM483.51 juta. Anggaran perbelanjaan pembangunan pada tahun 2021 pula akan diperuntukkan sebanyak RM850 juta yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan. Keseluruhannya, perbelanjaan tersebut adalah bagi melaksanakan mengikut 12 Agenda Utama. Sehubungan itu, harus juga diberi perhatian bahawa kutipan hasil dan kedudukan defisit bergantung kepada kestabilan ekonomi negeri Johor. Kestabilan ekonomi ini dipandu oleh faktor-faktor berikut:
1. Kejutan ekonomi akibat gelombang pandemik baru. 2. Kecekapan perbelanjaan. 3. Keberkesanan penyampaian belanjawan ini. 4. Pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura.
Strategi kewangan belanjawan 2021 adalah seperti berikut:
1. Belanjawan ini telah mengoptimumkan segala sumber yang ada pada kerajaan negeri. Ia termasuklah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor dan Government Linked Companies (GLCs) negeri. Pihak Berkuasa Tempatan akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan usaha menangani COVID-19. Kerajaan negeri melalui GLC-GLC nya juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di negeri Johor.
2. Belanjawan ini akan berpandukan konsep counter-cyclical measures, dengan izin. Kerajaan negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang sehingga ekonomi negeri kembali mengembang. Ya, belanjawan ini adalah belanjawan defisit. Dalam situasi ekonomi sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa mengikut sumber yang ada dan berfokus.
Yang Berhormat Tuan Speaker, belanjawan kali ini akan memberi fokus kepada 12 Agenda Kebajikan, Keberdayaan dan Keberhasilan Utama. Kesemua 12 agenda ini, merupakan Strategi Pelaksanaan Belanjawan 2021. Pelbagai pihak dalam sektor dalam 12 agenda ini,
menerima pengagihan peruntukan, pemberian tunai, insentif cukai dan insentif bukan monetari lain demi menjayakan 3 objektif utama Belanjawan Johor 2021.
Agenda 1 adalah Agenda Johor Tani. Seiring dengan agenda bekalan makanan negeri Johor, sebagai langkah awal, sekurang-kurangnya RM51 juta akan diperuntukkan untuk mentransformasikan pertumbuhan sektor pertanian dan industri makanan. Sektor pertanian merupakan antaranya sektor industri pemacu utama negeri Johor. Saya berharap agar jabatan-jabatan berkenaan dan organisasi di peringkat akar umbi akan menjadi agen perubahan dan pemudah cara dalam pelaksanaan inisiatif yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri seperti berikut:-
1. Program Jaminan Bekalan Makanan akan dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM6 juta dengan melibatkan kawasan tanaman seluas 2,168 hektar. Inisiatif ini merangkumi projek pembangunan industri pengeluaran tanaman makanan seperti padi, kelapa, tanaman agro makanan dan pertanian moden.
2. Menghargai komitmen para pesawah di kawasan Periuk Nasi Selatan dalam negeri Johor. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi Program Peningkatan Hasil Padi Di Luar Jelapang.
3. Fokus untuk meneroka pasaran baru bagi mengeksport makanan diteruskan dengan mengambil beberapa inisiatif strategik seperti berikut:
i. Program pembangunan komoditi berkompetensi bagi memangkin penanaman healthy natural food yang mempunyai permintaan yang tinggi dari luar negara. Program ini diberi peruntukan sebanyak RM790,000.00. Inisiatif ini disasarkan kepada pengusaha herba, madu, kopi, rempah ratus dan cendawan.
ii. Program Pembangunan Pertanian Lestari, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu para pengusaha memiliki sijil-sijil pengiktirafan seperti MyGAP, myOrganic bagi membantu penembusan pasaran yang lebih luas.
4. Bagi membangunkan usahawan tani pula, beberapa inisiatif kerajaan negeri telah dirangka antaranya:
i. Program Pembangunan Industri Asas Tani dan Program Perintis Keusahawanan Johor dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta akan disalurkan untuk menambah baik bengkel sedia ada dan bantuan pembelian mesin dan peralatan. Program ini akan memberi manfaat kepada 190 orang usahawan tani.
ii. Dalam usaha untuk mengembalikan minat pertanian dan memenuhi permintaan
komuniti, sejumlah RM4.8 juta telah diperuntukkan melalui peruntukan
PENJANA dan PBT Negeri Johor. Ia merangkumi Program Pertanian Komuniti
sama ada yang berskala kecil dan berbentuk komersil.
5. Untuk usaha Industri Ternakan Daging dan Ruminan, kerajaan negeri akan
melaksanakan beberapa inisiatif termasuklah:
i. Memperuntukkan RM400,000.000 bagi Program Pengeluaran Makanan Ternakan melalui konsep Homelot.
ii. Peruntukan RM2.5 juta pula untuk Pembangunan Hab Pedaging Ruminan.
iii. Menyediakan RM1 juta untuk Pembangunan Lembu tenusu, memperuntukkan RM1 juta bagi Pembangunan Unggas dan
iv. RM1 juta untuk Pembangunan Lembu Integrasi dan Pembangunan Industri Makanan.
Selain daripada itu, perlaksanaan Agro Mix-Farm Fasa 2 dan Fasa 3 akan diperluaskan di daerah Segamat. Dengan pertambahan keluasan 110 ekar melalui peruntukan sebanyak RM2 juta dalam tempoh 5 tahun.
Untuk menghargai syarikat-syarikat peneraju dan pengusaha dalam sektor pertanian dan agro makanan, kerajaan negeri buat pertama kalinya akan menyediakan geran sebanyak RM2 juta. Geran ini adalah untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju Dan Pengusaha. RM3 juta pula adalah untuk Program Pemilikan Teknologi Mekanisasi menerusi geran bernilai RM10,000.00 bagi pengusaha kecil, Geran Padanan 50-50 dan Geran Padanan Komersial 50-50. Untuk mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian ahli-ahli Pertubuhan Peladang kawasan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 bagi Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian Kluang dan di Benut.
Sukacita dimaklumkan bahawa 58% keluasan tanaman nanas di Malaysia adalah di negeri Johor. Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia akan meningkatkan pengeluaran nanas negara dengan peruntukan sebanyak RM19 juta oleh kerajaan persekutuan. Inisiatif ini melibatkan projek perluasan kawasan tanaman di seluruh Johor. Tumpuan bakal diberikan kepada industri nurseri benih nanas premium. Tambahan lagi, kerajaan negeri sedang mengusahakan penglibatan pelabur dari luar negara untuk terlibat dalam rantaian nilai industri nanas premium.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, bersama-sama kita ialah Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas, Yang Berhormat Dr. Shaharuddin Jamal. Terima kasih Yang Berhormat.
Untuk menjamin kelestarian habitat dan kelangsungan sumber perikanan, kerajaan negeri untuk permulaan akan mewartakan 5 kawasan sebagai zon industri perikanan negeri Johor. Zon ini adalah untuk ternakan ikan air tawar di Mawai, Kesang Laut dan Parit Keroma untuk ternakan kupang serta Kukup dan Sungai Johor untuk ikan marin. Selain itu, Projek Pembangunan Pengurusan Akuakultur Bersepadu negeri Johor akan dilaksanakan dengan melibatkan beberapa projek bersasar. Projek tersebut adalah pembangunan induk benih berkualiti, ternakan ikan air payau, ikan air tawar, ikan hiasan dan juga kerang-kerangan dengan peruntukan sebanyak RM2.9 juta. Ini juga termasuklah bantuan perkakas dan peralatan peranti pengumpulan ikan yang bernilai RM200,000.00.
Akhir sekali, pembangunan data dan jaminan keselamatan ternakan dan hasil laut akan dijalankan. Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM360,000.00 kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor untuk perlaksanaan inisiatif ini. Ini bertujuan untuk membangunkan profil kualiti air sungai dan pengurusan sumber secara lestari selari dengan agenda Johor Digital yang akan saya huraikan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Johor Digital. Agenda ini merupakan agenda yang penting bagi melakar tata kelola ekonomi masa hadapan atau the economy of the future, dengan izin. Bagi menyokong Agenda Johor Digital, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada perlaksanaan yang amat penting untuk kita semua.
Kerajaan negeri berbesar hati mengumumkan bahawa rakyat Johor bakal mendapat manfaat daripada perlaksanaan agenda digital seperti berikut :
1. Kerajaan negeri akan memastikan manfaat daripada pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia benar-benar dinikmati oleh rakyat Johor. Dianggarkan RM2.5 bilion akan dilaburkan bagi tujuan ini yang sebahagian besarnya melalui pelaburan langsung pemain industri dan selebihnya daripada pihak kerajaan.
2. Manfaat ini merangkumi penambahan menara komunikasi baru dan penaiktarafan alat pemancar telekomunikasi di menara sedia ada secara komersial oleh pembekal perkhidmatan. Inisiatif ini akan meningkatkan liputan 4G di seluruh negeri Johor dan menjadi asas kepada peralihan teknologi 5G.
3. Seterusnya lanjutan daripada inisiatif sebelum ini, kerajaan negeri akan melaksanakan Projek Johor Wifi 2.0 dengan peruntukan RM10 juta untuk 5 tahun. Ini bertujuan untuk meluaskan lokasi capaian Internet termasuk di kawasan luar bandar.
Bagi memperkasakan ekonomi digital di negeri Johor, kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa inisiatif seperti berikut :
1. Meningkatkan kerjasama strategik dengan pemain-pemain industri e-Marketplace di negara ini melalui platform e-dagang yang dikenali sebagai Johor E-Marketplace dengan peruntukan RM500,000.00.
2. Meningkatkan keupayaan transaksi tanpa tunai.
3. Kerajaan negeri juga menghargai usaha yang dilaksanakan oleh pihak Iskandar Investment Berhad dalam memperkasa Teknologi Dron dan Robotik dengan kos sebanyak RM5 juta.
4. Kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk menjadikan jalur lebar sebagai utiliti ketiga selepas elektrik dan air di setiap kawasan pembangunan yang baru. Ini bagi memastikan rakyat Johor sentiasa terhubung dengan akses jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti.
Selain itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan program pendidikan siber untuk pelajar Johor yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah yang celik dan bijak dalam penggunaan Internet.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Bahagian Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor akan meneruskan perlaksanaan Projek Pendidikan Islam Digital (JPID) Fasa 2 dengan peruntukan RM8 juta bagi tempoh 5 tahun. Projek ini bakal membangunkan kandungan pembelajaran digital dalam talian yang memanfaatkan kesemua 571 buah sekolah agama kerajaan dan 2 buah sekolah menengah agama kerajaan.
Kerajaan negeri turut giat menjalinkan usaha sama strategik dengan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang berkaitan bagi usaha pemerkasaan sektor keusahawanan terutamanya dalam usaha transformasi digital dan platform pemasaran usahawan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, agenda ketiga adalah Agenda Johor Niaga. Kita akui kelembapan ekonomi akibat perintah kawalan pergerakan dan penutupan sempadan telah memberi kesan kepada pelbagai sektor perniagaan. Maka inilah masanya kerajaan negeri menggandakan usaha menjana semula dan memulihkan ekosistem ekonomi demi kelangsungan perniagaan. Inisiatif-inisiatif yang bakal diambil adalah :
1. Membolehkan lebih ramai usahawan PKS mendapat pembiayaan perniagaan. Kerajaan negeri akan memperkenalkan satu skim pembiayaan PKS iaitu Johor Niaga-Bank Rakyat SME Loan yang akan diusahakan secara bersama dengan Bank Rakyat. Dana berjumlah RM100 juta akan disediakan kepada usahawan PKS dengan kadar faedah yang munasabah dengan syarat-syarat yang lebih longgar khususnya untuk PKS yang layak dari negeri Johor sahaja.
2. Bagi meringankan beban para penjaja dan peniaga, kerajaan negeri akan melaksanakan pengecualian bayaran lesen penjaja, lesen peniaga PKS, mikro, sewa premis dan gerai sewa, tapak pasar malam dan pasar pagi selama setahun berkuat kuasa dari 1 Januari 2021.
3. Bagi menggalakkan perniagaan kecil-kecilan bertapak, pihak Perbadanan Usahawan Johor Berhad dan PBT seluruh Johor akan menyediakan ruang dan peluang berniaga yang bersesuaian kepada peniaga kecil serta pengusaha foodtruck.
4. Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk Program Pembiayaan Sahabat Johor dalam memberi pembiayaan mikro kredit kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pembiayaan tanpa cagaran dan tanpa penjamin akan memanfaatkan seramai 2,396 sahabat AIM yang terkesan akibat Covid-19.
5. Usaha sokongan dan latihan kepada sektor PKS juga akan dipertingkatkan melalui beberapa inisiatif. Antaranya :
i. Geran Orang Lokal 3.0 akan digandakan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta bagi membantu meningkatkan produktiviti 240 pengusaha IKS.
ii. Skim peningkatan kapasiti dan Pembangunan PKS Johor, Johor Entrepreneurs Enhancement Programme (JEEP) iaitu bantuan pembiayaan perbelanjaan modal akan dilaksanakan dengan peruntukan RM1 juta.
iii. Insentif RM300,000.00 kepada PKS untuk membuka akaun semasa dan pendigitalan usahawan melalui SME Go Digital serta pendaftaran harta intelek.
iv. Sejumlah RM2 juta pula akan diperuntukkan menerusi Program Pembangunan Setempat. Program ini bakal membantu petani dan pengusaha industri kecil sederhana untuk menyediakan modal, peralatan dan latihan. Program ini akan dilaksanakan oleh Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) dan Jabatan Pertanian Negeri Johor.
Pihak Iskandar Investment Berhad (IIB) akan membangunkan hab inovasi Iskandar dalam usaha menyokong syarikat-syarikat start up di Johor dengan kos pembangunan sebanyak RM2 juta. Ini menunjukkan penglibatan sektor swasta dan sektor berkepentingan lain amatlah penting bagi menggugah semula komuniti PKS di negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, peranan infrastruktur dan prasarana tidak boleh dinafikan. Keperluan pembangunan prasarana bukan sahaja untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri kekal maju, namun juga demi kebaikan rakyat bagi menjalani aktiviti harian mereka. Maka agenda keempat adalah Prasarana Johor.
Dalam kesempatan ini, kerajaan negeri ingin mengambil peluang untuk berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah mengumumkan peruntukan bagi tujuan penyambungan projek-projek berimpak tinggi di negeri Johor seperti Kereta Api Berkelajuan
Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Sistem Transit RAPID (RTS) daripada Johor Bahru ke Woodland dan Sistem Bus Rapid Transit.
Bagi projek RTS, 40% daripada jumlah keseluruhan kerja berkaitan sivil dan struktur yang dianggarkan bernilai RM800 juta akan dibuka dan dianugerahkan kepada kontraktor Johor yang layak dan kompeten.
Selain daripada sektor pengangkutan, prasarana yang sangat bermanfaat untuk rakyat Johor ialah perumahan. Kerajaan negeri amat berbesar hati mengumumkan beberapa insentif bantuan perumahan yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Untuk makluman, sehingga kini terdapat sebanyak 21,479 unit perumahan mampu biaya telah siap dibina dari tahun 2014 hingga 2019. Salah satu inisiatif tersebut ialah pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor, kerjasama syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan di daerah Kluang, Tangkak, Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian dengan peruntukan berjumlah RM310 juta bagi tempoh 5 tahun.
Sebagai tambahan, 4 projek Taman Perbadanan Islam akan turut dibangunkan di Johor Bahru, di Batu Pahat dan di Pontian melalui PIJ Holdings. Kerajaan negeri berhasrat untuk meningkatkan sasaran pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor agar dapat dimiliki oleh golongan sasar iaitu B40, M40 dan anak-anak muda.
Selaras dengan itu, kerajaan negeri akan memastikan pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor diselarikan dengan perumahan lain menerusi penambahbaikan Dasar Perumahan Rakyat negeri Johor. Kerajaan negeri juga akan memastikan tiada lagi pembinaan rumah mampu biaya yang dilaksanakan hanya pada fasa akhir sesebuah projek. Pemberian baucar kepada pembeli Rumah Mampu Biaya Johor akan diteruskan dengan peningkatan daripada RM1,000.00 kepada RM3,000.00. Baucar ini diharapkan dapat membantu menampung kos memasuki kediaman baru.
Kerajaan negeri juga komited untuk melaksanakan inisiatif pengecualian sewa bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah sewa kerajaan bersasar sepanjang tahun 2021. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 70% penyewa bermula daripada 1 Januari 2021. Manakala sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk meneruskan dan memperbanyakkan projek perumahan di bawah Skim Perumahan Makmur Johor. Dengan kerjasama PBT, kerajaan negeri akan memperkenalkan Kempen Transisi 2.0 dalam tempoh 1 tahun bermula 3 Januari 2021 untuk terus menggalakkan pemaju membina Rumah Mampu Biaya. Sebagai tambahan kepada pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat di Johor oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan pembinaan Rumah Ihsan Makmur Johor dengan peruntukan sebanyak RM20 juta daripada Tabung Amanah. Dianggarkan sebanyak 400 unit rumah akan dibina melalui inisiatif ini. Di samping itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Maybank memperkenalkan satu Program Sewa Beli. Program ini bakal meringankan bebanan wang pendahuluan untuk pembeli-pembeli rumah. Untuk membantu penyewa-penyewa rumah pula, bantuan bayaran sewa, sewaan rumah sewa akan dilaksanakan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM800,000.00. Bagi golongan Bumiputera, kerajaan negeri bersetuju untuk mengadakan Ekspo Hartanah Bumiputera di seluruh Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Selain daripada itu, dalam usaha meningkatkan tahap keterhubungan di seluruh negeri Johor sebanyak RM29 juta diperuntukkan untuk penyusunan semula jajaran Bas Muafakat Johor yang lebih holistik dan cekap. Usaha ini akan melengkapi peruntukan kerajaan persekutuan untuk memperluaskan perkhidmatan bas henti-henti di Johor Bahru.
Dari segi kemudahan jalan raya pula, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM53.4 juta bagi projek jalan dan jambatan di seluruh negeri. Antaranya :
1. Cadangan membina jalan pintas, jalan pintas Pekan Nanas dari persimpangan Jalan
Pekan Nanas-Tanjung Piai-Jalan Sawah dan ke Jalan Gelang Patah-Ulu Choh. 2. Cadangan memperelokkan selekoh bahaya Jalan Muar-Labis. 3. Cadangan mengganti pembentong kekotak di Jalan Batu Pahat-Mersing. 4. Cadangan menaik taraf persimpangan Jalan Tan Swee Hoe dan Jalan Parit
Besar. 5. Cadangan membina jalan alternatif dari Jalan Meta ke Jalan Sekakap daerah
Mersing. 6. Menaik taraf Jalan Persimpangan Pekan Nanas hingga ke persimpangan Jalan Ulu
Choh-Tanjung Kupang.
Anggaran sebanyak RM700 juta pula diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di bawah MARRIS merangkumi jalan-jalan negeri, bandaran dan kampung.
Seterusnya kerajaan negeri amat komited untuk menjamin kualiti air bersih demi kelangsungan hidup rakyat Johor. Oleh itu, kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan infrastruktur pengurusan sumber air. Antaranya, kerajaan negeri dalam proses untuk menyediakan Enakmen Lembaga Pengurusan Air Johor dan berhasrat untuk menaik taraf Badan Kawal Air Negeri Johor (BAKAJ) kepada Lembaga Pengurusan Air Johor bagi memperkasakan pengurusan sumber air negeri Johor. Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi BAKAJ komited untuk melaksanakan projek menaik taraf baraj Sungai Johor dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta. Projek ini akan menghalang penerobosan air masin ke loji-loji rawatan air serta meningkatkan kapasiti penyimpanan air mentah yang dilepaskan dari Empangan Air Lingiu.
Bagi meningkatkan kualiti air dan mencegah pencemaran sungai, kerajaan melalui BAKAJ menyediakan peruntukan sejumlah RM1.7 juta untuk melaksanakan inisiatif berikut:
1. Pemantauan secara fizikal dan berkala terhadap sungai-sungai yang
membekalkan air mentah kepada loji-loji rawatan yang menggunakan teknologi
geospatial dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
2. Pembinaan 3 unit sistem pemantauan atas talian untuk memantau pencemaran dan kualiti air Sungai Skudai, Sungai Ulu Benut dan Sungai Muar dengan peruntukan berjumlah RM700.000.00.Selain daripada itu, dengan kerjasama IRDA projek kebolehlaksanaan Loji Rawatan Air Pintar (Smart Water Treatment Plan) dan penggunaan sumber air akan dilaksanakan dengan peruntukan daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM2 juta.
Kerajaan negeri juga prihatin dengan kesan banjir terhadap hidupan rakyat Johor. Oleh itu, beberapa infrastruktur untuk pencegahan dan kawalan banjir bakal dibangunkan. Antaranya:
1. Rancangan tebatan banjir, pengorekan sungai dan muara sungai akan diteruskan
dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
2. Peningkatan peruntukan penyelenggaraan parit dan saliran sebanyak RM40
juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker, agenda berikutnya adalah Agenda Modal Insan. Kerajaan negeri percaya bahawa modal insan adalah penggerak utama negeri Johor. Tanpa modal insan yang berkualiti, segala pelan pembangunan kita tidak akan berjalan dengan baik. Namun, begitu pandemik COVID-19 telah memperlihatkan iklim pasaran kerja yang begitu rumit. Apa sahaja isu yang timbul di dalam labour market ataupun modal insan kita adalah
permasalahan yang struktural sifatnya. Kerajaan negeri tetap memberi perhatian serius kepada pembangunan modal insan di Johor.
Antara usaha yang dijalankan adalah pertama, Program Latihan Kemahiran Johor untuk memenuhi kehendak pasaran industri semasa.
1. Program ini akan dilaksanakan melalui Johor Upskilling, Johor Reskilling dan
pensijilan tenaga mahir.
2. Program Pembangunan Modal Insan, Rapid Transit System untuk membangunkan
profesional dalam projek dan rail industry dengan jumlah sebanyak RM5 juta.
Antaranya pelaksanaan Program MRT Young Entrepreneur yang akan diselaraskan
oleh JCCD dan MRT Corp.
3. Kerajaan negeri akan menjalankan program peningkatan kemahiran serta
latihan semula dan keusahawanan dalam sektor minyak dan gas kepada graduan,
kontraktor tempatan dan pekerja yang telah diberhentikan.
4. IRDA akan melaksanakan program-program peningkatan kemahiran dan kemahiran
semula melalui peruntukan kerajaan persekutuan seperti yang diumumkan pada
Belanjawan 2021 dengan peruntukan fasa pertama sebanyak RM8 juta.
5. Bagi menyelaras inisiatif berkaitan modal insan, kerajaan negeri akan
memperkasakan peranan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri.
Jawatankuasa ini akan menggariskan pelan tindakan dan menangani isu-isu
berkaitan modal insan negeri Johor.
6. Program Perantis Iskandar Malaysia akan dilaksanakan oleh pihak Educity
dalam pembangunan bakat berkaitan industri teknologi terkini. Selain daripada itu,
satu geran padanan gaji bagi pekerja tempatan yang diberhentikan juga akan
dilaksanakan. Pihak IRDA akan memperuntukkan RM8 juta bagi kedua-dua
program tersebut.
7. Kerajaan negeri akan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan
khusus seperti pekerja tempatan yang terkesan. Graduan dan Orang Kelainan
Upaya melalui inisiatif gerak kerja Johor seperti Gerak Kerja @Outreach, Gerak
Kerja Johor @ Graduan, Gerak Kerja Johor @ OKU dan Gerak Kerja Johor @ Local.
8. Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor akan menyalurkan
bantuan peningkatan ekonomi yang meliputi peralatan bekerja dan latihan
kemahiran bernilai RM1 juta.
9. Satu inisiatif ke arah Revolusi Industri 4.0 telah dirangka khas seperti dalam
Pelan Induk Pembangunan Kontraktor Negeri Johor untuk meningkatkan keupayaan
dan kemampuan kontraktor. Bagi memperkasakan kompetensi kontraktor
kerajaan negeri akan melaksanakan program-program berikut:
i. Program Peningkatan Kompetensi Kontraktor Johor.
ii. Program Pembangunan Aplikasi Monitor Johor dan
iii. Program Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Sistem Penarafan dan Penilaian Kontraktor Negeri Johor.
Kerajaan negeri menghargai usaha kerajaan persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menambah baik bekalan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang turut berperanan merangka Pelan Tindakan bagi membantu golongan ini. Modal insan Johor tidaklah harus dilihat dalam konteks tenaga kerja semata-mata.
Johor harus mula dari awal dalam usaha kita mendidik anak-anak Johor bukan untuk menjadi tenaga kerja mahir sahaja tetapi untuk menjadi rakyat Johor yang seimbang, yang punya sahsiah dan beridentiti murni. Atas kesedaran ini, inisiatif-inisiatif tersebut akan dijalankan.
1. Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim akan
mengadakan Program Modul Jauhar untuk pembangunan sahsiah kanak- kanak. Ia
merupakan Modul Pembelajaran Awal Kanak-Kanak Taska Yayasan Pembangunan
Keluarga Darul Ta’zim dan akan diintegrasikan dengan elemen-elemen Modul
Keluarga Sakinah.
2. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan memfokus
kepada penguatkuasaan pendidikan Islam yang meliputi subjek berkaitan Iqra’ dan
asas fardhu ain (Iqfa). Usaha ini akan memberi faedah kepada kanak-kanak berusia
5 hingga 6 tahun dan melibatkan 300 buah tadika KEMAS negeri Johor. Ia bakal
disertai oleh 5,000 kanak-kanak dengan peruntukan sebanyak RM1.6 juta. Kesemua
inisiatif-inisiatif di atas adalah untuk memberi keseimbangan kepada modal insan
Johor agar modal insan Johor pada semua peringkat umur dapat dikenali melalui
acuan Johornya tersendiri, acuan yang berkemahiran, sederhana dan beretika.
Kerajaan negeri terus beriltizam untuk menambah baik kualiti penyampaian, perkhidmatan dan usaha tadbir urus supaya lebih cekap, berintegriti dan memenuhi aspirasi rakyat. Oleh itu, Agenda Kebajikan, Keberdayaan Dan Keberhasilan Utama yang seterusnya adalah Governance Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, transformasi Governance Johor dapat dilaksanakan melalui pemerkasaan penjawat awam dan inisiatif pemodenan seperti berikut:
1. Bagi meningkatkan kompetensi dan kapasiti penjawat awam, kerajaan negeri
telah mewujudkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, Johor Civil
Service Academy. Badan ini akan menggabungkan Program Latihan Profesional
dan Program Penyelidikan dalam satu institusi demi meningkatkan kompetensi-
kompetensi perkhidmatan awam negeri Johor.
2. Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi
membuka ruang kepada penjawat awam negeri untuk memiliki kelayakan
profesional dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti insinyur (Ir.),
Surveyor (Sr.) dan akauntan bertauliah (C.A).
3. Kerajaan negeri akan melaksanakan kenaikan pangkat secara time based
berasaskan kecemerlangan untuk kali kedua. Ini bertujuan untuk memberi
laluan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai kumpulan pelaksana dalam
perkhidmatan awam negeri.
4. Dalam kesempatan ini kerajaan negeri juga merafak sembah takzim dan
menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di
atas perkenan untuk mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang menjadi
sebuah Bandaraya berkuat kuasa pada 22 November 2020. Dengan pemasyhuran
Majlis Bandaraya Pasir Gudang ini, ia akan meningkatkan keupayaan Majlis
Bandaraya Pasir Gudang dalam menguruskan pembangunan pesat di Pasir Gudang.
Kerajaan negeri juga turut berhasrat untuk melestarikan sektor ekonomi di Pasir
Gudang yang berteraskan industri dan pelabuhan selain memelihara alam sekitar
selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor.
5. Kerajaan negeri kini turut dalam proses meneliti cadangan untuk menaik taraf
Majlis Daerah Pontian bertaraf Perbandaran. Usaha ini diharap dapat
meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
6. Selari dengan Agenda Johor Digital, pendigitalan pentadbiran urus kerajaan
bakal digiatkan lagi. Inisiatif pendigitalan yang akan dilaksanakan adalah bertujuan
sepertimana berikut:
i. Pembangunan Kerangka Analitik Data Raya Johor dengan peruntukan RM5
juta untuk meningkatkan keupayaan mengintegrasi semua data daripada
agensi-agensi kerajaan lain.
ii. Menambah baik infrastruktur sistem e-Perolehan Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
iii. Program penggalakan dan promosi perkhidmatan digital akan dilaksanakan untuk meningkatkan penggunaan aplikasi digital kerajaan secara kerap dan meluas. Program ini diperuntukkan sebanyak RM700,000.00.
iv. Melaksanakan program pemantapan kemahiran dan pembangunan bakat penjawat awam dalam bidang IT dengan peruntukan sebanyak RM700,000.00 dan
v. Program Digitalisasi PBT Johor akan dilaksanakan di semua 16 PBT dengan menggunakan Sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online. Sistem ini akan membolehkan kesemua urusan seperti permohonan dan pengulasan, pelan pemajuan dibuat secara dalam talian.
Program pengenaan syarat tanah, Fast Track Nil, cadangan pelanjutan tempoh Fast Track Nil di pentadbiran tanah negeri ini dijangka memanfaatkan 30,858 pemilik tanah untuk membolehkan kadar cukai tanah dikenakan selaras dengan aktiviti di atasnya. Dicadangkan untuk dilanjutkan pelaksanaan di bawah Program Fast Track Nil 2.0 dan ianya akan dimulakan pada 1 Januari 2021 hingga 31 Mac 2021.
Pengecualian daripada syarat Kebenaran Merancang dan caj pemajuan bagi tujuan pecah bahagi dan pecah sempadan bagi mendapat hak milik individu dengan tujuan bukan pembangunan. Pengecualian dari dikenakan caj pemajuan ini juga terpakai bagi permohonan pecah sempadan bagi tujuan pemberian kepada ahli keluarga.
Transformasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri akan memasuki fasa pelaksanaan setelah kajian selesai pada tahun ini. Dengan aspirasi sebagai contoh terbaik, masa depan bagi GLC, inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah memaksimumkan pulangan pelaburan kerajaan dengan mengimbang antara keuntungan dan mandat pembangunan. Setiap GLC yang dikenal pasti akan melalui penstrukturan korporat yang lebih berdaya tahan dan efisien.
Seterusnya, bagi meraikan peranan pembangkang yang bersifat konstruktif dan mengangkat martabat institusi Wakil Rakyat, saya dengan berbesar hati akan meningkatkan peruntukan Yang Berhormat ADUN Pembangkang daripada RM50,000.00 kepada RM150,000.00. (Dewan bertepuk). Selain itu, bagi memberikan lebih pengiktirafan kepada Ketua
Pembangkang, saya mencadangkan elaun beliau dinaikkan daripada RM3,000.00 kepada RM5,000.00 dan disediakan seorang pembantu tadbir.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Agenda seterusnya ialah Majestic Johor. Wabak pandemik ini ibarat ngeri kepada industri pelancongan Johor. Akibat penutupan sempadan negara, di samping kelembapan ekonomi Johor, ekonomi global, sektor pelancongan adalah yang paling terjejas. Bagi sektor pelancongan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada Tourism Johor. Bagi memacu dan merancakkan semula sektor pelancongan. Pasca COVID-19, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:
1. Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023 akan diteliti semula. Ini bagi memastikan hala tuju sektor pelancongan dapat dirancang dengan lebih tersusun dan mengikut trend semasa.
2. Johor Tourism Interchain, dengan peruntukan RM500,000.00 akan dibangunkan bagi mentransformasi ekonomi digital pelancongan. JTI akan menghubungkan semua pemilik produk, operator pelancongan serta penggiat industri dalam satu platform digital market place.
3. Baucar pelancongan, berjumlah RM1.5 juta akan merancakkan semula segmentasi penginapan serta shopping and retail terpilih di negeri Johor.
Seterusnya, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan di negeri Johor. Prasarana ini merangkumi kemudahan asas, pelancongan di daerah, homestay dan desa stay serta Taman Negara. Dengan itu, beberapa infrastruktur pelancongan lain akan dibangunkan dan dibaik pulih termasuklah:
1. RM450,000.00 bagi pembinaan infra dan pembangunan produk ecotourism di
Hutan Taman Negeri Gunung Arong.
2. RM350,000.00 lagi untuk pembangunan pusat pentadbiran dan kemudahan
infrastruktur di Hutan Taman Negeri Air Hitam Utara.
3. RM500,000.00 bagi pengurusan dan pembangunan trek pendaki gunung di
negeri Johor.
4. RM386,000.00 untuk membangunkan trek sukan lasak.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Desa Johor dan lingkungannya mempunyai potensi yang mesti dibangunkan. Tidak akan maju Johor ini jika desa serta masyarakatnya terus tertinggal dan dipinggirkan. Kerajaan negeri mesti segera meneroka keberdayaan dan keberhasilan yang boleh ditawarkan oleh masyarakat desa Johor. Alhamdulillah, melalui kesungguhan dan konsistensi kita terhadap pembangunan luar bandar, ia telah mula membawa pemerkasaan masyarakat desa. Buktinya pada tahun 2019, pendapatan bulanan penengah isi rumah luar bandar Johor adalah sebanyak RM5,352.00 jauh lebih tinggi berbanding RM3,828.00 di peringkat nasional dan hanya 21.0% lebih rendah daripada kawasan bandar.
Justeru, pada Belanjawan 2021 ini, fokus yang diberikan adalah melalui pemberdayaan ekonomi dan infrastruktur desa dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM59.2 juta. Jumlah ini merangkumi inisiatif berikut:
1. Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), yang menekankan kepada pembangunan in-situ yang merangkumi komponen ekonomi, perumahan dan kemudahan asas. Peruntukan adalah RM8 juta untuk jangka masa 5 tahun.
2. Kerajaan persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), telah memperuntukkan sebanyak RM35.2 juta bagi pembangunan wilayah Johor Tenggara. Peruntukan ini adalah untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan termasuklah projek sosioekonomi, keusahawanan, infrastruktur dan pembangunan modal insan.
3. Adalah program sokongan pengukuhan keusahawanan luar bandar untuk memberikan sokongan berbentuk geran penuh kepada usahawan luar bandar.
4. Program pembangunan usahawan, produk perkhidmatan dan pemasaran. Program ini akan memberi galakan kepada pekebun kecil untuk menceburi bidang lain sebagai sumber pendapatan tambahan melalui keusahawanan. Fokus program ini adalah kepada 4 bidang utama, iaitu perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.
5. Program pembangunan peneroka akan dilaksanakan oleh FELDA. Program ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan warga peneroka terhadap hasil pendapatan tanaman komoditi semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh mempelbagaikan sumber pendapatan sampingan dalam pelbagai bidang.
6. Program penambahbaikan dan pemerkasaan kampung tradisi di Iskandar Malaysia yang dilaksanakan oleh IRDA dengan peruntukan RM1.5 juta. Program ini bertujuan untuk memberi pendapatan alternatif isi rumah melalui pelbagai projek sosio ekonomi tertumpu.
7. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan melaksanakan Program Pembangunan Kampung Tradisi bagi memberikan perkhidmatan sama seperti kawasan taman-taman perumahan lain di Johor.
8. Sementara projek bekalan air luar bandar melalui pembinaan Sistem Retikulasi Negeri dengan peruntukan RM7 juta. Projek ini membekalkan air boleh minum pada kuantiti yang mencukupi bagi daerah Batu Pahat, Kluang, Johor Bahru, Segamat dan Muar.
9. Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar sebagai Inisiatif Ke-9 akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM7.5 juta. Antara daerah yang terlibat adalah daerah Kulai, Kota Tinggi dan Segamat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Agenda ke-9 adalah Orang Muda Johor. Di Johor ini, terdapat lebih daripada 1.5 juta orang muda yang berumur antara 14 hingga 39 tahun. Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan keutamaan kepada anda. Kita akan sentiasa membela, menyokong dan menyerlahkan bakat-bakat terbaik orang muda Johor untuk Malaysia. Oleh itu, melalui agenda ini, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM57.3 juta untuk inisiatif-inisiatif yang dekat dengan nadi orang muda Johor.
Dalam kesempatan ini, kerajaan negeri merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas perkenan melantik Duli Yang Amat Tunku Mahkota Johor mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri Johor. Antara inisiatif yang bakal dijalankan adalah penubuhan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre. Kerajaan negeri menyambut baik titah Duli Yang Amat Tunku Mahkota Johor untuk mewujudkan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre di setiap daerah. Tujuan penubuhan TMIYC ini adalah untuk melahirkan belia negeri Johor yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan selain dapat mengasah bakat kepimpinan mereka.
Selain itu, kerajaan negeri akan memperkasakan Mahasiswa Johor dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti berikut:
1. Pinjaman pelajaran institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara dengan
peruntukan sebanyak RM14.7 juta.
2. Skim bantuan pendaftaran dengan peruntukan RM1.5 juta.
3. Biasiswa Kenangan Dato’ On sebanyak RM300,000.00.
4. Biasiswa Sultan Ibrahim dengan peruntukan RM300,000.00.
5. Dana Didik Johor dengan peruntukan RM100,000.00.
6. Tabung Pendidikan Sarjana Permodalan Darul Takzim dengan peruntukan RM150,000.00.
7. Tabung Pendidikan Kakitangan Kumpulan Pelaksana sebanyak RM30,000.00.
8. Kursus Jangka Pendek Guru KAFA dengan jumlah RM 50,000.00.
9. Bagi Program Pembangunan Mahasiswa Johor sejumlah RM500,000.00 diperuntukkan kepada Persatuan-Persatuan Mahasiswa Johor di semua universiti awam. Selain daripada itu, RM500,000.00 juga akan diperuntukkan kepada Duta Mahasiswa Johor.
Selain daripada itu, kerajaan negeri cakna dengan perkembangan pelajar sekolah Johor. Terutama sekali aktiviti soft skill dan kemahiran berkomunikasi mereka. Justeru itu, sejumlah RM1 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pembangunan Murid Johor dan Program Penggayaan Bahasa Inggeris.
Melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor pula kerajaan negeri akan menjalankan inisiatif bantuan pakaian seragam sekolah kepada pelajar fakir dan miskin di sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah agama kerajaan Johor. Bantuan yuran sekolah kepada pelajar miskin sekolah kerajaan agama dan bantuan yuran pendaftaran di IPT dalam negara juga akan diberikan. Semua inisiatif ini berjumlah RM8.3 juta. Tambahan lagi, kerajaan negeri amat menitik berat kepada pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2021. Konteks semasa menjejaskan persiapan peperiksaan bagi ramai pelajar-pelajar sekolah. Untuk itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan mengadakan tuisyen secara percuma bagi 6 subjek kepada pelajar-pelajar tingkatan 5 dari keluarga B40.
Seramai 31,478 orang akan menerima manfaat dengan kos sebanyak RM4.5 juta. Dengan program tuisyen secara percuma ini, diharapkan pelajar-pelajar akan lebih bersedia dan akan mendapat keputusan yang cemerlang. Insya-Allah.
Seterusnya, bagi menggalakkan penglibatan belia dan aktiviti berkaitan kesukarelawanan dan kepimpinan, kerajaan negeri telah menyusun beberapa inisiatif untuk tujuan tersebut, iaitu:
1. Southern Volunteers, yang meliputi 10,000 penyertaan belia untuk aktiviti
kesukarelawanan.
2. Program kepimpinan untuk melatih pemimpin muda Johor setaraf dengan
pemimpin muda di peringkat global melalui Dewan Muda Johor dan
3. Hikmah Johor sebagai platform kepada bekas-bekas pemimpin dan tokoh-
tokoh negeri Johor berkongsi pengalaman, idea dan pemikiran buat golongan
belia.
4. Menaik taraf dan menjenamakan semula Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan semangat Dato’ Onn (IKLAS) kepada Institut Dato’ Onn sebagai sebuah agensi yang menyelaras program pembangunan belia meliputi persidangan dan latihan kepimpinan. Platform tokoh dan pemimpin muda Johor, menyelaras maklumat belia Johor.
Selain daripada itu, kerajaan Johor juga akan memberikan dana galakan Persatuan Belia Negeri Johor bagi melaksanakan pelbagai program melalui aktiviti kesukarelawanan, khidmat bakti masyarakat, belia, sukan dan rekreasi.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada fokus-fokus di atas, agenda khusus kepada orang muda Johor akan turut diberikan dalam lingkungan ekonomi belia. Antara program-program yang akan dilaksanakan adalah Projek Pembangunan Belia Tani FELDA dan Agropreneur Muda Johor.
Seterusnya kerajaan negeri menerusi KPRJ akan menjalankan inisiatif-inisiatif berikut dengan kos sebanyak RM1 juta.
1. Membangunkan Johor Sports Masterplan 2030. Pelan ini akan memberikan hala tuju baru kepada industri sukan negeri Johor.
2. Kolaborasi bersama Loughborough University dari United Kingdom dalam bidang Sains Sukan bagi melahirkan atlit bertaraf dunia serta memacu pembangunan sports tourism.
Tambahan lagi kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta kepada Majlis Sukan Negeri Johor bagi memperkasakan Persatuan Sukan di negeri Johor. Sebanyak RM600,000.00 akan diberikan dalam bentuk geran kepada Persatuan Sukan Negeri Johor mengikut gred dan RM510,000.00 lagi kepada Program Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri Johor.
Berikutannya, Program XTIF Johor akan diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM1.98 juta bagi merakyat dan menggalakkan aktiviti sukan sebagai gaya hidup rakyat Johor.
1. Program Sukan Makmur XTIF Johor akan dilaksanakan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor.
2. Acara XTIF Johor Fun Ride, Fun Run dan e-Sports juga akan dilaksanakan di bawah JOYDEC.
Selain daripada itu, selaras dengan agenda Johor Digital juga, satu pangkalan data belia atau Johor Youth Database akan diwujudkan dengan peruntukan RM500,000.00. Pangkalan data ini akan membekalkan maklumat komprehensif berkenaan belia kepada pembuat dasar negeri.
Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan sekali lagi setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota yang telah mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ketujuh berturut-turut baru-baru ini. (Dewan bertepuk). Sesungguhnya kejayaan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada negeri untuk terus membangunkan industri sukan di negeri Johor.
Kerajaan negeri menyambut baik cadangan yang dilontarkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor untuk memastikan rakyat terutamanya golongan belia dapat melakukan aktiviti yang sihat dan menggunakan fasiliti gimnasium dengan kadar yang berpatutan. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan sebuah gimnasium rakyat bertaraf antarabangsa di Johor Bahru. Gimnasium rakyat ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat terutama golongan belia berupaya untuk melakukan aktiviti sihat. Diharapkan agar inisiatif-inisiatif di atas dapat menyokong dan memberdaya belia kita di samping berupaya mengembalikan semula kebanggaan orang muda Johor terhadap Negeri Johor Darul Ta’zim.
Yang Berhormat Tuan Speaker, agenda seterusnya adalah agenda Johor Madani. Johor seharusnya menjadi negeri yang mengekalkan adat dan budayanya. Meskipun tidak sibuk mengejar arus kemodenan, adat dan budaya rakyat Johor tidak akan dilupakan. Dalam konteks semasa, pandemik Covid-19 menuntut kita untuk memberi fokus kepada daya tahan ekonomi. Namun yang sering ditinggal-tinggalkan adalah daya tahan sosial dan daya tahan identiti. Malah aspek kelestarian alam juga mungkin dianggap samping kepada waktu ini.
Pada hari ini saya ingin memperkenalkan konsep Johor Madani di dalam Johor Madani ini telah dirangkumkan aspek-aspek berikut :
1. Pemerkasaan Syiar Islam.
2. Perpaduan Kaum Dan Komuniti.
3. Pemeliharaan Budaya Kesenian Dan Warisan Johor.
4. Kelestarian Alam Dan Kesihatan.
Ini kerana aspek-aspek di atas adalah tunjang kepada peradaban iaitu kata asas bagi Madani. Maka Johor Madani adalah Johor yang makmur dan sejahtera sifatnya, seimbang dan moderat tata kelolanya.
Oleh itu, bagi aspek pemerkasaan syiar Islam, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM113.7 juta bagi inisiatif-inisiatif berikut :
1. Kerajaan negeri akan membina 12 buah sekolah agama Fasa 6 bagi tempoh 5 tahun akan datang dengan anggaran peruntukan sebanyak RM85 juta. Pembinaan baru sekolah-sekolah ini dapat menyediakan sebanyak 12,000 tempat belajar bagi anak-anak Islam di Johor.
2. Membaik pulih dan menyelenggara masjid-masjid kerajaan, kariah serta Projek Pembangunan Perkuburan Bersepadu dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.4 juta.
3. Peruntukan sebanyak RM9 juta bagi membaik pulih dan penambahbaikan infrastruktur Sekolah Agama Johor dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sedia ada.
4. Menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA). Briged ini akan menggalakkan belia Islam menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan masjid dan surau di Johor dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00. Dianggarkan seramai 500 orang belia berumur antara 15 hingga 30 tahun akan terlibat dalam briged ini.
Selain daripada itu, kerajaan negeri melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan menaik taraf 10 buah Sekolah Agama Kebangsaan Johor kepada Sekolah Bestari dengan
peruntukan RM1.5 juta dalam tempoh 5 tahun. Tambahan lagi, kerajaan negeri menerusi Majlis Halal Negeri Johor akan memperkasakan peranannya di dalam merangka strategi untuk menjadikan negeri Johor sebagai Hab Halal Global. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah :
1. Majlis Agama Islam akan meningkatkan Kapasiti Johor Toyyiban Laboratories (JTLAB) sebagai sebuah pusat analisis dan penyelidikan komersial yang diiktiraf dunia.
2. Bagi menyokong pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan PIJ Holdings bagi penyediaan geran pembiayaan sebanyak RM500,000.00 bagi mendapat bimbingan permohonan sijil halal.
Perpaduan merupakan ramuan yang penting bagi kemakmuran sebuah negeri. Tanpa perpaduan, tiadalah keamanan dan ketenteraman. Dan antara pasak utama kepada perpaduan adalah penglibatan semua komuniti dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Dalam arus kemodenan, masyarakat Johor tidak harus bersifat individualistik. Sifat ini jika ia keterlaluan akan mencambahkan prejudis dan syak wasangka antara kita.
Seperti yang saya katakan di awal ucapan saya, we are all Johorean. Selaras dengan semangat itu, beberapa inisiatif yang bakal diambil kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.2 juta adalah antaranya :
1. Berasaskan Dasar Komuniti Negara (DKN), kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Program Pembangunan Komuniti Dan Penambahbaikan Pengurusan Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Sewa Kerajaan.
2. Bagi memperkasakan peranan komuniti dalam aspek pembangunan sosioekonomi, satu kajian penglibatan komuniti akan dilaksanakan di setiap PBT negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
3. Program kebersamaan dan integrasi kaum akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor dengan peruntukan sejumlah RM1 juta.
4. RM700,000.00 akan diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif untuk memperkasa tanggungjawab komuniti rukun tetangga melalui Program Rondaan Bersepadu Keselamatan Kejiranan dan Program 1 Polis 1 KRT.
5. Jawatankuasa Task Force Masyarakat India akan diwujudkan bagi meneliti dan menyelesaikan isu-isu tertangguh kaum India.
Dalam aspek pemeliharaan budaya, kesenian dan warisan, kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor dan PBT bakal melaksanakan beberapa inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM3.1 juta seperti berikut :
1. Lestari Seni Budaya yang bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis dalam pelbagai cabang seni di peringkat akar umbi.
2. Mewujudkan Pustaka Warisan Digital untuk menyebarluaskan produk dan tarikan kebudayaan warisan negeri Johor selari dengan Agenda Digital Negeri Johor.
3. Memperkukuhkan warisan bahasa dan persuratan Melayu bagi menghargai karya-karya sastera. Selain daripada mengasah bakat generasi muda dalam bidang penulisan.
4. Program Mempromosikan Makanan Johor di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan inisiatif dan skim penggalakan kepada semua usahawan bagi menceburi perniagaan makanan Johor adalah merupakan inisiatif yang keempat.
Bagi menonjolkan identiti negeri melalui seni bina dan fasad bangunan warisan, Pelan Pembangunan Bandar Warisan Johor akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kelestarian Alam Sekitar dan Kesihatan pula kerajaan negeri akan menjalankan inisiatif seperti berikut : Kesihatan, sudah hampir setahun rakyat Malaysia hidup dalam norma baru, melalui prosedur-prosedur yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Namun begitu saban hari masih ramai lagi yang dikompaun kerana enggan mematuhi SOP norma baru yang ada. Pada masa yang sama, gejala penagihan dadah semakin berleluasa tatkala segala tumpuan diberikan untuk memerangi pandemik COVID-19.
Atas sebab itu, kerajaan negeri akan menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Norma Baharu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia. Program Pemerkasaan Komuniti oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan akan dipromosikan dengan peruntukan sejumlah RM1.1 juta.
Kelestarian Alam Sekitar, dari sudut Kelestarian Alam Sekitar pula, kerajaan mengakui kepentingan sungai sebagai khazanah alam yang tidak terperi nilainya. Atas kesedaran itu, sejumlah RM3.5 juta diperuntukkan untuk program kelestarian sungai-sungai di Johor yang merangkumi:
1. Program 1 Daerah 1 Sungai dengan peruntukan RM2 juta untuk memberikan
kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan kepentingan sungai.
2. Program Pemulihan Sungai Kim-Kim dengan peruntukan RM500,000.00. Program ini adalah dengan kerjasama 4 buah universiti iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM).
Bagi menjamin kelestarian Sungai Skudai dan Sungai Tebrau yang merupakan sungai utama dalam sistem pengairan Johor Bahru, sebanyak RM1 juta diperuntukkan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran. Dalam aspek penguatkuasaan pula, Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan negeri akan melaksanakan Program Penguatkuasaan Bersepadu. Program penguatkuasaan ini akan dijalankan ke atas industri atau premis yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Selanjutnya, kerajaan negeri juga akan memutuskan inisiatif pemasangan Stesen Pemantauan Kualiti Udara. Untuk fasa pertama bagi tahun hadapan, stesen ini akan dipasang di 3 PBT bertaraf bandar raya. Stesen pemantauan kualiti udara ini mampu memastikan pengawasan kualiti udara secara menyeluruh dan sistematik di kawasan PBT.
Kerajaan negeri juga akan membangunkan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Terjadual Bersepadu bagi menangani masalah pencemaran sisa kimia dan bahan buangan terjadual yang berpunca daripada pelupusan secara haram.
Dalam kesempatan ini, kerajaan negeri ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas peruntukan sebanyak RM10 juta untuk usaha memelihara dan memulihara ekosistem persisiran pantai dan habitatnya di negeri Johor.
Penjagaan Ekosistem Flora dan Fauna, kerajaan negeri Johor sentiasa menekankan kepentingan penjagaan ekosistem flora dan fauna di Johor. Oleh itu, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan menjalankan inisiatif seperti berikut :
1. Sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk meneruskan Projek Santuari Gajah Fasa 2 dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Johor.
2. Sebanyak RM850,000.00 diperuntukkan untuk aktiviti pemulihan biodiversiti dan ekopelancongan seperti Program Pengurusan Habitat Gajah, Program Junior Park Rangers bersama pihak sekolah, Program Penguatkuasaan Eco Rangers bersama pihak komuniti, Program Komuniti One Family Tree Nursery, Program Sifar Sampah dan Pemantauan Kawasan Pencerobohan di Taman Negara Johor Gunung Ledang bersama komuniti setempat.
Seterusnya kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Johor akan menyediakan Pelan Induk Pembangunan Panti Conservation Area (PCA) dan Pembangunan Sistem Pengurusan, Pemantauan dan Penguatkuasaan Hutan Simpan Kekal. Sejumlah RM500,000.00 diperuntukkan untuk tujuan ini.
Bagi meneruskan program Kelestarian Alam Sekitar secara lebih menyeluruh, kerajaan negeri akan melancarkan inisiatif Program Infaq Bumi Hijau Johor dengan kerjasama Waqaf An-Nur. Program ini melibatkan penanaman 100,000 pokok di seluruh Johor dengan peruntukan berjumlah RM700,000.00.
Kerajaan negeri dengan kerjasama IRDA, PBT dan Jabatan Pendidikan pula bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif meningkatkan kesedaran amalan rendah karbon.
Kerajaan negeri dengan kerjasama IRDA, PBT dan Jabatan Pendidikan pula, bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif meningkatkan kesedaran amalan rendah karbon. Antaranya
1. Pusat Eko di Perpustakaan Sultan Ismail dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta
daripada Japan International Corporation Agency (JICA).
2. Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2030 dengan
peruntukan RM3 juta daripada kerajaan persekutuan menerusi IRDA,
3. Inisiatif Solar Supply Agreement Of Renewable Energy (SARE) di semua
bangunan PBT di bawah Program Masyarakat Rendah Karbon dan
4. Inisiatif Program Penyelesaian Sisa Pintar di Majlis Perbandaran Pengerang
dengan peruntukan RM3.2 juta untuk pengurusan sistem pepejal yang lebih
sistematik dan bersih.
YB Tuan Speaker, agenda ke-11 adalah Agenda Johor Prihatin. Kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan dan kesejahteraan golongan rentan, kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kelainan upaya dan Orang Asli di Johor. Golongan ini bukan sahaja perlu dibantu, mereka juga perlu diberdayakan dengan intervensi-intervensi yang sesuai dan berkesan. Oleh itu, dalam Belanjawan Johor 2021 ini, kerajaan negeri telah menggariskan beberapa inisiatif penting dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.3 juta seperti berikut, bagi ibu-ibu tunggal dan golongan yang berpendapatan rendah, kerajaan negeri akan memperluaskan Centre Of Suri Johor, ia berfungsi sebagai satu platform pemasaran produk mereka dengan lebih luas. Program ini bermatlamat melahirkan 700 orang usahawan wanita dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Selain daripada itu, tiga program sokongan memfokuskan kepada wanita Johor akan dilaksanakan menerusi inisiatif di bawah:
1. Woman Income Generating Skills Projects (WINGS) 2021, 2. Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIP) 2021, 3. Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).
Baru-baru ini Dr. Masliza Mahmod, anak kelahiran Batu Pahat, menjadi wanita pertama Johor yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford United Kingdom. Dengan itu, inisiatif penggalakan yang dinamakan Pesona Wanita Profesional bakal diperkenalkan. Inisiatif ini bertindak sebagai satu platform pengiktirafan dan juga memanfaatkan kepakaran golongan wanita terpilih dalam pelbagai bidang profesional. Lebih-lebih lagi wanita seperti Dr. Masliza Mahmod. Kerajaan negeri berharap lebih ramai lagi bakat-bakat wanita Johor yang bakal diketengahkan sebagai sumber inspirasi masyarakat umum. Bak kata Dr. Masliza, the sky is the limit. Itulah semangat yang patut ada pada wanita Johor.
Atas sebab di atas dan untuk terus memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan ekonomi dan sosial, satu kajian Pembangunan Data Wanita Dan Keluarga Negeri Johor akan dilaksanakan bagi memastikan bantuan diberi secara bersasar dan efektif. Kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap pengukuhan institusi kekeluargaan. Oleh itu, Program Intervensi Keluarga dan juga komuniti serta keprihatinan terhadap warga emas akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM750,000.00 melalui program-program berikut, Program I-Cons Of Sakinah, Program Kembara Keluarga Sejahtera Johor 2021, Johor Support Programme For Community, Warga Emas We Care (WE CARE) dan Massive Open Online Course Bagi Modul Keluarga Sakinah Dan Modul Keluarga Sejahtera.
Bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan masyarakat Orang Asli Johor pula, kerajaan negeri akan menjalankan Program Pembangunan Ekonomi dan Usahawan Orang Asli dengan peruntukan berjumlah RM300,000.00.Kanak-kanak adalah aset masa depan yang perlu dilindungi oleh semua pihak. Justeru, kerajaan negeri bercadang agar Program Advokasi Pencegahan dan Perlindungan Kanak-Kanak diperluaskan. Program ini dapat memberikan kefahaman kepada ramai berkaitan tanggungjawab dalam melindungi kanak-kanak daripada bahaya penderaan.
Sementara itu, bagi menggalakkan aktiviti kesukarelawanan, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000.00 bagi menaik taraf bangunan Volunteers Activity Centre (V@C) di Batu Pahat. Pusat ini akan menjadi tempat kepada sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdaftar, bagi mengadakan perjumpaan, membuat perancangan, penyusunan dan gerak aktiviti kesukarelawanan mereka.
Seterusnya, Orang Kelainan Upaya adalah sebahagian daripada golongan rentan yang wajar kita bantu dan berikan perhatian. Dengan itu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM250,000.00 bagi melaksanakan beberapa program. Antaranya, Program Latihan dan Promosi khususnya untuk meningkat dan menambah nilai kemahiran sedia ada golongan OKU dengan peruntukan RM150,000.00. Program Kesedaran kepada Keluarga Yang Mempunyai Anak-anak OKU (KOKU) dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00.
Yang Berhormat Tuan Speaker, agenda terakhir adalah agenda Johor Berkebajikan. Agenda ini akan memberi kelegaan langsung kepada rakyat Johor. Kelegaan dalam mengharungi kehidupan khususnya dalam menghadapi krisis COVID-19. Ia adalah satu intervensi dan bantuan segera kepada golongan yang begitu terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. Sudah pasti, intervensi dan bantuan ini bukanlah yang terakhir, sudah pasti ianya akan diperbaharui pada masa akan datang.
Agenda yang akan dilaksanakan adalah:
1. Pemberian wang tunai one-off sebanyak RM300.00 selama dua bulan kepada 26,626 penerima dari senarai e-Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM15.98 juta.
2. Pemberian wang tunai one-off sebanyak RM500.00 kepada 47,159 penyewa premis, pasar awam, peniaga pasar malam, peniaga pasar tani yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Johor. Jumlah peruntukan adalah RM23.58 juta.
3. Pemberian wang tunai one-off sebanyak RM500.00 kepada 5,205 pemilik teksi, teksi limousin, teksi lapangan terbang. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM2.60 juta.
4. Pemberian wang tunai one-off sebanyak RM150.00 kepada 35,000 Mahasiswa Anak Johor daripada keluarga B40. Jumlah peruntukan adalah RM5.2 juta. Duit ini, nak beli data Internet pun boleh.
5. Pemberian tunai one-off sebanyak RM500.00 kepada 2,071 pengusaha bas sekolah berdaftar. Jumlah peruntukan adalah sebanyak RM1 juta.
6. Pemberian insentif bantuan one-off sebanyak RM100.00 kepada 20,000 pemandu dan penghantar makanan syarikat e-hailing yang berdaftar di Johor dengan jumlah peruntukan RM2 juta.
7. Pemberian wang tunai one-off sebanyak RM100.00 kepada setiap orang pelajar sekolah rendah dan menengah yang berasal dari keluarga berpendapatan RM3,000.00 hingga RM7,000.00 sebulan. Jika sebuah keluarga mempunyai anak seramai lima orang dan bersekolah di peringkat rendah mahupun menengah, mereka akan menerima RM500.00. Inisiatif ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM18.94 juta dan memberi manfaat kepada 189,389 pelajar. Ia merupakan pelengkap kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada pendapatan isi rumah di bawah RM3000.00 sebulan.
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan front liners, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM200.00 kepada 30,000 petugas dengan jumlah peruntukan RM6 juta. Bukan itu sahaja, ada banyak perkhabaran-perkhabaran baik yang lain. Antaranya,Bantuan Am Negeri akan dinaikkan dari RM200.00 ke RM300.00 sebulan kepada 5,700 penerima di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor. Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor turut berperanan dalam agenda Johor Berkebajikan dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM152.1 juta. Antaranya, Bantuan Sara Hidup Bulanan bagi golongan berpendapatan rendah, Bantuan Perubatan Rawatan Hemodialisis kepada pesakit buah pinggang. Bantuan Perumahan kepada pemilik rumah uzur sama ada dalam bentuk bina baru atau baik pulih dan Bantuan Rumah Kebajikan bagi kanak-kanak menghidap autisme.
Pada masa yang sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil inisiatif tambahan untuk membantu asnaf iaitu penerima Bantuan Sara Hidup bulanan dan bantuan perubatan bulanan dengan sumbangan tambahan one-off RM100.00 seorang. Seramai 20,507 asnaf akan menerima manfaat tersebut serta tunai akan dikreditkan terus ke akaun pada Januari 2021 dengan jumlah peruntukan RM2.05 juta.
Berikutan keluhan daripada masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Majlis Agama Islam akan menyalurkan sumbangan tunai sebanyak RM200.00 kepada 17,000 individu. Peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM3.4 juta. Permohonan akan
dibuka secara dalam talian pada 1 hingga 14 Disember 2020. Tambahan lagi, seramai 10,000 orang pesakit akan diberikan Bantuan Perjalanan kepada Pesakit Kronik yang berdaftar di bawah Skim Bantuan Am Negeri. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dengan peningkatan daripada RM20.00 kepada RM50.00.
Kerajaan negeri akan terus memperkasakan golongan yang memerlukan bantuan. Justeru, Program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada masyarakat bandar, luar bandar, FELDA, ladang dan kawasan pedalaman di negeri Johor. Dalam usaha meringankan kesusahan masyarakat yang memerlukan, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif Bantuan Bakul Makanan kepada golongan miskin bandar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11 juta. Pada masa yang sama, Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 akan diteruskan. Ini merupakan program kerajaan yang lalu, yang kita rasakan satu perkara baik dan akan diteruskan. Seramai 200,000 isi rumah dianggarkan menerima manfaat dari skim ini.
Bagi penggiat industri pelancongan pula, mereka akan menerima insentif dengan jumlah sebanyak RM5 juta seperti berikut:
1. Pemberian insentif one-off RM1,000.00 kepada pemandu pelancong yang
berdaftar di negeri Johor. (Dewan bertepuk).
2. Pemberian bantuan insentif one-off kepada 16 persatuan pelancongan negeri dan
daerah dengan peruntukan sebanyak RM320,000.00.
3. Pemberian insentif one-off RM2,000.00 kepada 586 syarikat agensi
pelancongan.
4. Pengecualian bayaran duti hiburan bagi taman-taman tema dan pusat hiburan
keluarga dan,
5. Pengecualian bayaran Lesen Perniagaan kepada 1,031 buah syarikat berkaitan
pelancongan.
Atas dasar keterangkuman dan nilai muhibah masyarakat berbilang kaum, kerajaan negeri akan memberi peruntukan khusus kepada masyarakat Cina dan India bagi tujuan kebajikan, aktiviti keusahawanan dan pendidikan komuniti masing-masing. Peruntukan akan diberikan kepada yayasan-yayasan berikut, Yayasan Sultanah Fatimah RM6 juta, Yayasan Sultanah Rogayah RM4 juta. Selain daripada itu, kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran Jualan Makmur Johor agar rakyat Johor dapat membeli barang-barang keperluan pada harga yang lebih rendah. Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.00. Pada masa hadapan, penganjuran Jualan Makmur Johor akan diperluas mengikut keperluan dan kapasiti.
Kepada Penjawat Awam Negeri Johor yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Bagi Tahun 2020 kepada kakitangan kerajaan negeri Johor dan kakitangan awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri Johor sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.00 (Dewan bertepuk). Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2020.Bantuan Khas Kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua Guru KAFA, Petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Guru Tadika Islam Johor (TAJ).
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin menegaskan yang segala peruntukan, inisiatif dan rangsangan yang telah dibentangkan ini, hanyalah sebahagian besar daripada keseluruhan rencana, peruntukan dan imbuhan yang akan dilaksanakan pada tahun
hadapan. Yang pasti, saya ingin menegaskan bahawa, kesemua 12 Agenda Kebajikan, Keberdayaan, dan Keberhasilan yang membentuk Belanjawan 2021 ini, telah disusun dengan meletakkan kepentingan rakyat dan ekonomi Johor di tangga teratas. Tiadalah keutamaan lain kepada kami, kecuali keutamaan semua lapisan rakyat yang benar-benar terhimpit pada waktu ini. Kita mahu memastikan yang pembentangan Belanjawan 2021 ini bukan sekadar agenda akhir tahun 2020, tetapi menjadi titik mula paling penting untuk Johor bangkit semula pada tahun 2021, insya-Allah.
Kepada seluruh jentera kerajaan Johor, saya mengambil kesempatan ini, dengan rasa sangat bertanggungjawab, untuk mengingatkan diri saya dan semua, bahawa di bahu kitalah terletaknya kejayaan, keberkesanan dan manfaat daripada Belanjawan 2021 ini. Kitalah yang akan menentukan kebajikan rakyat terbela, perniagaan dibantu dan ekonomi dipulihkan. Kita adalah catalyst terpenting untuk kejayaan Belanjawan 2021 ini. Maka, saya menyeru agar kita semua mengambil tanggungjawab ini secara penuh seluruh. Menjiwainya, melaksanakan ia dengan sebaik-baiknya, beramanah dalam berbelanja, dan menyegerakan segala pelaksanaan Belanjawan 2021 ini. Janganlah nanti Belanjawan ini hanya jadi rencana tanpa kerja nyata. Ia menjadi Belanjawan yang impaknya berganda jika kita efisien, jika kita amanah dan jika kita bersegera dalam tindakan dan perbuatan kita. Justeru, saya menyeru dengan sedalam-dalam keikhlasan hati saya, untuk kita segera jayakan Belanjawan ini, kerana rakyat benar-benar mendambakan bantuan dan rangsangan untuk terus hidup.
Akhirnya, semoga Belanjawan 2021 ini merupakan perkhabaran yang melapangkan hati-hati rakyat di luar sana. Agar mereka dengan sebaik mungkin berdaya tahan, dalam waktu sebegini getir. Ingatlah, sedikit masa lagi, akan terbitlah terang dan kecerahan. Hujan panas permainan hari, susah senang permainan hidup. Semua ini adalah adat kehidupan. Seruan saya, marilah kita bekerja keras menggugahkan semula Johor ini, dengan kehidupan yang membaik, perniagaan yang bertumbuh, ekonomi yang berdaya saing serta kemakmuran dan kesejahteraan yang teragih adil dan berpanjangan.
Marilah kita bina semua Johor seperti sebelum pandemik ini. Johor yang senantiasa rancak dengan pelbagai rencana, dengan pelbagai cerita dan pelbagai ragam peel Johornya. Sungguh, kita sangat merindui Johor yang seakan itu. Saya harap segala niat murni dan usaha keras ini akan dapat dilaksanakan dan dijayakan dengan sebaiknya. Khususnya dengan sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Yang Mulia ini, dan para Penjawat Awam Johor yang lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kepada Allah kita berserah. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mohon mencadangkan. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon juga membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112 (2) dan (4) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Peraturan Tetap 112 (2) dan (4) ditangguhkan sementara.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, selesai sudah Ucapan Belanjawan Negeri Johor 2021 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan tema “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Tahniah Yang Amat Berhormat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga ke hari Ahad, 29 November 2020 jam 9.30 pagi di mana Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Yang Kedua Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 akan dimulakan.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.45 pagi.