Johor · 29 November 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 153 turns · 30,260 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka telah menganugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 kepada Yang Berhormat Datuk Mohd. Izhar bin Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor pada 31 Oktober 2020. Tahniah diucapkan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan Yang Berbahagia Datuk Haji Zahar bin Bachik, bekas Ahli Dewan Negeri Kawasan Parit Raja mulai 21 Oktober 1990 hingga 10 November 1999 selama 2 penggal telah kembali ke rahmatullah pada 15 September 2020. Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Haji Zahar bin Bachik.
Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bagi orang-orang Islam membacakan Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur sebentar satu minit. Al-Fatihah (Berdiri). Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Tenggaroh jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 1.
Daripada 200,000 rakyat Johor telah memohon Bantuan Ihsan Johor tetapi hanya 40,000 orang sahaja diluluskan. Bagaimana kerajaan negeri akan meningkatkan jumlah penerima bantuan?
Yang Berhormat Jementah jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.
Nyatakan dengan terperinci berapa jumlah permohonan yang diterima, kelulusannya dan peruntukan untuk kelulusan permohonan mengikut kategori keluarga dan individu Bagi Skim Bantuan Ihsan COVID-19? Adakah skim ini akan dibuka semula untuk membantu rakyat memandangkan pandemik COVID-19 masih berterusan?
Yang Berhormat Johor Jaya jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 3.
Apakah tindakan pihak kerajaan negeri terhadap ketidakberkesanan Bantuan Ihsan Johor di mana ramai yang mengadu masih tidak dapat terima walaupun sudah berjaya. Nyatakan jumlah penerima mengikut DUN.
Yang Berhormat Penggaram jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 4.
Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan Johor telah melancarkan Ihsan Johor untuk memberi bantuan kepada rakyat yang terjejas. Berapakah jumlah wang dibelanjakan untuk program ini, jumlah permohonan yang diterima, jumlah keluarga dan individu yang telah mendapat manfaatnya?
Yang Berhormat Machap jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.
Nyatakan sejauh mana kebaikan pelaksanaan Bantuan Ihsan Johor dalam membantu mereka yang terkesan semasa COVID-19.
Ya, jemput Yang Amat Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Jementah, Yang Berhormat Johor Jaya, Yang Berhormat Tenggaroh, Yang Berhormat Penggaram dan Yang Berhormat Machap mengenai Bantuan Tunai Ihsan Johor dan saya mohon untuk menjawabnya bersekali.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Ahli Dewan semua, kerajaan negeri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 pada 25 Mac 2020. Dan jumlah Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut adalah sebanyak RM174.5 juta dan juga Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri Kedua telah diperuntukkan sejumlah RM28.74 juta.
Untuk makluman Ahli Dewan, bahawa bantuan Pakej Rangsangan Ihsan Johor ini adalah berbeza dengan Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan pada 27 Mac 2020. Di mana Bantuan Prihatin Nasional ini yang melibatkan jumlah sebanyak RM10 bilion, melibatkan 8.3 juta isi rumah dan juga individu bujang, yang bekerja swasta, peneroka FELDA, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah sebagaimana yang dikategorikan 1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,000.00, RM1,000.00 kepada hampir 1.1 juta isi rumah, berpendapatan RM4,000.00 hingga RM8,000.00 dan juga bantuan-bantuan seterusnya.
Kemudian di peringkat negeri juga, kita ada Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri Kedua dengan peruntukan RM28.74 juta. Juga berbeza dengan Bantuan Prihatin Nasional 2.0. Bantuan Prihatin Nasional ini berjumlah RM7 bilion yang disalurkan kepada 10.6 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri telah melantik agen-agen di pusat-pusat saluran. Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor ini bergantung sepenuhnya kepada agen-agen melalui pusat-pusat saluran. Di peringkat negeri kita tidak mempunyai data yang lengkap sepertimana data yang diperolehi oleh kerajaan persekutuan. Contoh bantuan-bantuan prihatin, ianya menggunakan data daripada Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Nasional, bantuan yang disalurkan oleh JKM, bantuan yang disalurkan oleh JAKOA, bantuan yang disalurkan oleh Ahli Parlimen, bantuan yang disalurkan oleh mana-mana agensi, kementerian dan jabatan persekutuan.
Sementara di peringkat negeri, data yang ada kepada kita adalah bantuan yang disalurkan oleh badan berkanun negeri Johor seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor, bantuan yang disalurkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan seperti Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Yayasan Pasir Gudang dan sebagainya.
Bantuan yang disalurkan oleh syarikat berkaitan kerajaan Johor seperti KPRJ dan sebagainya. Bantuan yang disalurkan oleh Pejabat Daerah. Bantuan yang disalurkan oleh ADUN, itu pun kalau ada ADUN yang melaporkan. Bantuan yang disalurkan oleh agensi-agensi yang lain atau jabatan-jabatan yang lain.
Maka pusat saluran adalah amat penting di mana pusat salurannya adalah Pejabat Menteri Besar, Pejabat-Pejabat Daerah, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat-Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri. Dan agen-agen yang dilantik oleh pusat-pusat saluran tersebut adalah kalau pejabat saya, Yang Berhormat Dato’ Zulkurnain bin Haji Kamisan, Yang Berhormat Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy, Yang Berhormat Datuk Tee Siew Kiong. Pejabat Daerah, agen-agennya adalah Penghulu dan Ketua Kampung. Sementara Pihak berkuasa Tempatan adalah Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis-Majlis Perbandaran dan Daerah dan juga Ahli-Ahli Majlis. Sementara Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri adalah Ketua Bahagian ataupun Ketua Cawangan ataupun Ketua Cabang di peringkat Dewan Undangan Negeri masing-masing, itu adalah agen.
Untuk makluman Yang Berhormat, Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor ini, ianya bukanlah bantuan yang terbuka, ianya khusus pada mereka-mereka yang tidak menerima sebarang bantuan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin. Jadi untuk itu, kita bergantung kepada agen-agen yang dilantik oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekiranya maklumat-maklumat itu tidak lengkap, maklumat-maklumat itu tidak ada pengesahan, maka itulah kekangan dan kesukaran di pihak kerajaan negeri untuk melaksanakan secara menyeluruh Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor, kerana kita tidak mempunyai data Yang Berhormat. Kita tidak dapat mengawal apa yang ada maklumat di pihak misal kata Lembaga Hasil ataupun Kementerian Kewangan. Kita berusaha untuk menjalinkan kerjasama dan saya yakin insya-Allah di tahun hadapan, kita akan lebih cekap apabila kita mempunyai data yang lebih tepat kepada mereka-mereka yang memerlukan bantuan.
Jadi kalau kita memuat naik google form sebagai contoh, ia merupakan satu kesukaran kepada kerajaan untuk mengesahkan penerima-penerima ini sama ada betul atau tidak mereka mempunyai pendapatan di bawah RM4,000.00 atau antara RM4,000.00 hingga RM8,000.00. Jadi ini adalah kekangan-kekangan untuk kita memastikan bahawa peruntukan yang disediakan itu adalah benar-benar jumlah yang kita ingin berikan. Kerana daripada RM174.5 juta itu Yang Berhormat, Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan ini tidak hanya tertumpu kepada pemberian tunai daripada siri pertama hanya RM14 juta diperuntukkan, dengan sasaran awal penerima adalah pada bulan Jun 2020 seramai 35,535 orang. Kemudian Bantuan Tunai Ihsan Johor ini adalah berbentuk one-off sebanyak RM250.00 dan RM500.00 kepada rakyat Johor yang benar-benar layak. Jadi kerajaan negeri Johor melalui Pejabat Perbendaharaan Negeri telah mewujudkan satu sistem iaitu Sistem e-Ihsan Johor bagi tujuan menerima dan menyaring permohonan secara merit iaitu maklumat-maklumat yang dibekalkan daripada pusat-pusat saluran. Di mana pusat-pusat saluran tersebut menerima maklumat daripada agen-agen yang dilantik.
Kerajaan negeri pada 18 pula, 18 April... itu pada bulan Mac. Pada bulan April sehingga tarikh tutup pada 3 Jun, kita menerima sebanyak 234,000 permohonan oleh semua pusat saluran yang terdiri daripada yang saya sebutkan tadi. Tetapi kesukaran kita ialah untuk mengesahkan kesahihan maklumat-maklumat yang dibekalkan.
Pembayaran telah dibuat mulai daripada bulan Mac kita perkenalkan, 28 April kita telah membuat bayaran kepada penerima yang layak. Sehingga berakhir pada bulan Jun 2020,
seramai 41,565 penerima telah pun diluluskan permohonannya dengan pecahan 38,334 adalah penerima bantuan RM250.00, manakala 3,231 pemohon adalah penerima bantuan RM500.00.
Jadi daripada senarai 192,540 pemohon adalah tidak layak menerima bantuan disebabkan pemohon atau pasangan melebihi had kelayakan pendapatan. Pemohon atau pasangan mempunyai syarat dan layak memohon Geran Prihatin Nasional, mereka layak memohon dengan Geran Prihatin Nasional. Pemohon berumur kurang daripada 18 tahun, duplikasi permohonan dan nombor kad pengenalan yang tidak wujud.
Untuk makluman Johor Jaya, jumlah penerima bagi daerah Johor Bahru adalah seramai 17,673. Dan daripada jumlah itu, terdapat penerima manfaat juga daripada Yang Berhormat DUN Johor Jaya. Saya sependapat dengan Yang Berhormat Tenggaroh yang jumlah penerima bantuan tunai Ihsan Johor perlu kita pertingkatkan. Data kemiskinan yang pada ada kerajaan negeri ada 3 kategori data, data miskin tegar dan miskin dalam sistem e-kasih, data penerima bantuan asnaf daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor dan juga data penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Itu sahaja data yang kita ada. Namun setiap jabatan mempunyai garis panduan kemiskinan yang berbeza-beza itu pun menjadi perkara yang merupakan kekangan kepada usaha kita nak menjayakan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, oleh yang demikian kerajaan negeri melalui agenda Johor Digital akan memulakan usaha konsolidasi data mengumpul pelbagai maklumat mengenai rakyat Johor. Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan adalah state wide consensus dengan izin iaitu bancian kemiskinan dan keadaan isi rumah untuk melihat secara terperinci keadaan dan konteks isi-isi rumah, keluarga di dalam negeri Johor.
Bancian ini akan diadakan secara dalam talian menerusi mekanisme yang terperinci dan telus agar maklumat yang sahih boleh diproses dan diterima pakai. Ia adalah penting agar polisi dan intervensi berkenaan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Bancian ini juga akan melibatkan data-data daripada Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga data sedia daripada e-Ihsan Johor.
Sebagai langkah awalan belanjawan negeri Johor sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum berbagai inisiatif perlindungan sosial telah dibentangkan. Ini adalah untuk memastikan bahawa bantuan yang akan datang lebih elok kita lakukan bantuan bersasar. Ianya lebih efisien dalam meringankan beban rakyat sempena gejala pandemik COVID-19 ini. Jadi, pada masa akan datang bantuan bersasar akan dipertingkatkan dan diperluaskan merentasi pelbagai golongan yang memerlukan. Terima kasih.
Tenggaroh, jemput.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas penjelasan mengenai bantuan Ihsan Johor dan juga kekangan yang kerajaan alami melalui data-data di kerajaan negeri. Namun mungkin saya nak tahu sebab rakyat Johor tidak semua yang mempunyai akaun bank, bagaimana kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang tidak mempunyai akaun bank. Terima kasih.
Jemput Yang Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, penerima yang tidak memberikan maklumat bank atau pusat bayaran, bayaran akan disalurkan kepada Pejabat Daerah dan apa yang kita lakukan bermula daripada 24 Jun 2020 berdasarkan alamat dan nombor telefon yang diberikan. Jadi, bayaran kepada mereka yang tidak memiliki maklumat bank
adalah disalurkan melalui Pejabat Daerah. Sebagai maklumat tambahan untuk Yang Berhormat Tenggaroh sejumlah 7,335 penerima daripada 41,565 adalah pemohon yang dibayar secara tunai melalui Pejabat Daerah dan kalau mengikut pecahan daerah-daerah, kepada penerima yang telah kita bayar atau yang dah diluluskan Batu Pahat, 5,332; Johor Baru, 17,673; Kluang, 3,203; Kota Tinggi, 1,278; Mersing, 380; Muar, 3,742; Pontian, 1,432; Segamat, 3,445; Kulai, 3,726 dan Tangkak, 1,354.
Ya, Penggaram.
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan saya, saya nak tanya mengapakah portal telah ditutup sebab banyak orang pemohon dia nak semak secara online tapi tidak boleh sebab portal semakan telah ditutup dan juga dalam semakan online tiada mengatakan bahawa mereka boleh dapat bantuan tunai itu, di manakah mereka boleh dapat. Saya juga difahami banyak orang belum dapat lagi, jadi berapakah bilangan yang belum diserahkan kepada pemohon.
Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Seperti yang saya katakan tadi bahawa bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor tidak terbuka. Ianya bergantung kepada pusat saluran dan ejen-ejen yang dilantik oleh Ahli Yang Berhormat. Maklumat-maklumat semua telah dibekalkan kepada pusat-pusat saluran. Ahli-Ahli Yang Berhormat semua sedia maklum tentang garis panduan dan juga peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Saya dimaklumkan bahawa pihak kerajaan telah membekalkan garis panduan pengurusan bantuan Ihsan Johor dan juga kita telah pun mengemukakan beberapa frequent as a question bagi membolehkan Yang Berhormat lebih jelas tentang syarat-syarat kelayakan. Jadi, ini semua ada dalam pengetahuan pusat-pusat saluran di mana bantuan itu tidaklah terbuka untuk semua sebab itu apabila google form itu dimuat naik sebagai satu kaedah untuk mendaftar maka pihak Ihsan Johor sistem yang dah kita bangunkan itu tidak mampu untuk menerima dengan jumlah yang begitu banyak yang begitu besar. Jadi, inilah merupakan kekangan kerana kita menganggapkan bahawa pusat saluran dan ejen-ejen yang telah dilantik itu akan berhubung dengan Pusat Bantuan Ihsan Johor ini.
Jadi, apabila ianya tidak berlaku maka 200,000 adalah satu jumlah yang di luar jangkaan sehinggakan ianya pihak kerajaan tidak berupaya untuk memproses kerana ianya memerlukan pengesahan, ianya memerlukan maklumat-maklumat lanjut dan khususnya maklumat-maklumat yang tidak tepat yang dibekalkan oleh pemohon-pemohon. Jadi, itu merupakan satu daripada kekangan kepada pihak kerajaan untuk mengesahkan permohonan.
Di dalam aplikasi yang telah dibangunkan juga ada jawapan sama ada layak atau tidak ataupun berjaya atau tidak pemohon-pemohon berkenaan. Jadi, melalui pusat saluranlah maklumat-maklumat itu ada. Sehingga kini masalah untuk bayaran adalah amat sedikit. Kita boleh katakan sudah hampir 100% menyalurkan bantuan-bantuan tunai kepada mereka yang telah berjaya.
Soalan tambahan. Pertama sekali apabila mendengar jawapan daripada Yang Amat Berhormat tentang tidak lengkapnya data daripada kerajaan. Saya merasakan bahawa macam kita ni ketinggalan ke belakang sangatlah sedangkan kita kerajaan negeri Johor yang kita selalu berbangga mempunyai kehebatan dalam banyak perkara. Kalau kita lihat dengan kemunculan ataupun dengan kehebatan dalam banyak GLC-GLC kita yang baik dalam urusan perniagaan dan sebagainya. Jadi, apabila kita menyatakan tidak ada lengkap data, sedangkan kita ada pada sayalah, pada pandangan Parit Yaani bahawa kita ada beberapa buah universiti yang ada di negeri Johor yang kita boleh buat minta bantuan mereka untuk menggabungkan kalau nanti
dia kata data tu datang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam, Pejabat Daerah, why not kita...
Soalan Yang Berhormat.
Why not, kenapa kita tidak buat satu gabungan panggil satu konsultan yang boleh menggabungkan semua maklumat-maklumat yang diperlukan khususnya katakan mereka yang miskin, mereka yang anak yatim dan sebagainya. Itu adalah satu perkara dan bila benda tu boleh dilaksanakan. Terima kasih.
Jemput Yang Amat Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani. Saya setuju 100% bahawa kita perlu menggabungkan semua data-data yang ada. Buat masa ini our data is every where. Jabatan-jabatan ada datanya, Majlis-majlis ada datanya, agensi-agensinya ada datanya, ada sistem yang dibangunkan peruntukan digunakan untuk membina aplikasi itu dan ini pendaftaran itu dan ini secara digital secara elektronik. Tetapi data-data ini merata berada di mana sahaja sebab itulah menyedari perkara ini kita bangunkan ataupun kita bentuk majlis digital Johor ini.
Matlamat dan tujuan utamanya itulah tadi supaya dapat kita gabungkan semua data-data supaya dapat kita himpunkan dalam satu platform di mana melalui platform tersebut semua pihak boleh akses kepada data-data berkenaan untuk tujuan-tujuan bukan hanya apabila adanya pakej rangsangan ekonomi seperti Ihsan Johor ini tetapi banyak polisi-polisi dan juga perancangan-perancangan yang nak dibuat oleh kerajaan haruslah berdasarkan kepada data. Jadi, tanpa data kita tidak akan dapat merangka dasar dan juga hala tuju serta polisi yang betul-betul bersasar tepat kepada matlamatnya. Jadi, itulah hasrat kerajaan negeri dalam masa yang terdekat supaya dapat kita bangunkan satu kaedah untuk himpunan satu data.
Kerajaan negeri telah melantik Pengarah BPEN, Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri sebagai our Chief Information Officer (CIO), Pengarah BPEN akan membentuk 2 jawatankuasa kerja, satunya untuk digital infrastrukturnya, satu lagi untuk content nya pengisian kepada 2 jawatankuasa kerja ini akan melihat kepada usaha-usaha untuk memantapkan data-data kita termasuklah Yang Berhormat cadangkan tadi bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi, badan-badan yang mempunyai kepakaran supaya mereka dapat membantu kerajaan dalam memantapkan data yang nak kita bangunkan. Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Penawar jemput.
Terima kasih Tuan Speaker. Duduk bertimpuh di atas tikar, minum bersembang berteman si nyonya, walaupun kerajaan sudah bertukar, Speaker tetap di atas dengan segaknya. Soalan saya nombor 6.
Nyatakan jumlah pelaburan asing yang masuk ke negeri Johor dari Mac 2020 hingga kini yang boleh meningkatkan lagi ekonomi negeri Johor memandangkan sekarang kita masih lagi dalam PKPB.
Soalan Yang Berhormat, pantun tu tak ada kaitan dengan soalan. Tangkak jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker soalan saya nombor 7.
Berapakah nilai pelaburan yang masuk ke negeri Johor sejak Januari 2020 sehingga sekarang mengikut kategori dan jenis pelaburan serta perbandingan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019?
Jemput Yang Berhormat Datuk.
Bismillahirahnirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Lima minit Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Izinkan saya menjawab pertanyaan Yang Berhormat Penawar dan Yang Berhormat Tangkak bersekali kerana ianya berkaitan. Bagi makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini, sehingga bulan September tahun 2020 negeri Johor telah berjaya menerima pelaburan dalam sektor pengilangan berjumlah sebanyak RM5.71 bilion. Dari jumlah pelaburan tersebut nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk adalah sebanyak RM33.9 bilion, manakala pelaburan domestik pula adalah sebanyak RM2.32 bilion. Bagi sektor perkhidmatan jumlah pelaburan adalah sebanyak RM401 juta, di mana ianya melibatkan perkhidmatan hotel dan pelancongan serta sokongan perkhidmatan yang lain.
Untuk tambahan investment yang kita masuk melalui IRDA, Iskandar Regional Development Authority komited investment pada tahun setakat 2020 Januari hingga Jun RM16 bilion dan realized investment untuk tahun 2020 juga Januari hingga Jun RM7.5 bilion. Yang Berhormat Tuan Speaker berikut adalah butiran mengenai pecahan sektor dan nilai pelaburan tinggi yang telah berjaya dibawa masuk dari Januari hingga September 2020. Peralatan dan pengangkutan RM1.168 bilion, mesin dan kelengkapan RM716.23 juta, elektrik dan elektronik RM661 juta, tekstil dan produk tekstil RM631 juta, produk mineral bukan metalik RM392 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Tangkak mengenai perbandingan nilai pelaburan dan mengikut sektor, pada tahun 2019, negeri Johor telah berjaya mencatatkan nilai pelaburan sektor pembuatan dan pengilangan sebanyak RM11.4 bilion. Nilai pelaburan asing bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM6.5 bilion, manakala domestik sebanyak RM49 bilion. Berikut pecahan sektor dan nilai pelaburan tertinggi yang dicatatkan pada 2019; produk petroleum termasuk petrokimia RM2.4 bilion, kimia dan produk kimia RM1.6 bilion, peralatan pengangkutan RM1.6 bilion, elektrik dan elektronik RM1.34 bilion, pengilangan makanan RM1.19 bilion. Justeru itu, perbandingan nilai pelaburan 2019 dan 2020 adalah perbezaannya RM5.74 bilion.
Yang Berhormat Speaker, penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19 memberi kesan langsung yang buruk terhadap sektor pelaburan negeri ini. Jumlah pelaburan yang diperolehi pada tahun ini telah menurun sebanyak RM5 bilion jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Terima kasih.
Ya Tangkak, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Sejak pandemik COVID-19 ini, apakah ada syarikat yang ingin melabur di negeri Johor telah menarik diri pelaburan mereka? Jika ada, mohon nyatakan. Terima kasih.
Jemput Yang Berhormat.
Kerajaan melalui Invest Johor berterusan cuba menambah baik usaha untuk fasilitasi bagi merealisasikan pelaburan tambahan. Tetapi di sebaliknya, kita juga memperkasakan kita punya pemantauan dan juga implementasi projek melalui Project Incinerator and Coordination (Unit PACU) bersama pihak MIDA di peringkat negeri agar progress pembangunan projek pengilangan tidak terjejas. Selain daripada itu juga, kita juga ada meningkatkan gerak kerja penyelarasan antara agensi promosi lain bersama jabatan kawal selia melalui sesi bersemuka di peringkat negeri dan PBT. Kita juga ada menjalankan sesi libat urus secara langsung bersama pelabur-pelabur yang terkesan untuk membincangkan cabaran-cabaran dan industri bagi membolehkan Invest Johor merangka langkah-langkah memudahkan cara penyelesaian.
Soalan yang tadi, ada tak Yang Berhormat tadi?
Memang ada, ada beberapa syarikat yang terkesan yang mana saya tak boleh senaraikan di sini tetapi kita dalam proses membantu mereka dengan institusi kewangan juga dengan apa pakej-pakej yang telah kita nak bantu, yang kita dah susunkan untuk kita meringankan kesan-kesan itu supaya mereka dapat bertahan lebih lama lagi. Terima kasih.
Ya, Bukit Batu.
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan saya kepada Yang Berhormat EXCO. Pada zaman kerajaan PH hala tuju pelaburan kita adalah berlandaskan kepada prinsip atau hala tuju 3H iaitu high tech, high value dan industri halal. Maka soalan saya, apakah hala tuju dan sektor yang kini disasarkan oleh kerajaan negeri sekarang kerana kurang maklumat terutamanya memandangkan baru-baru ini bulan lepas Malaysia telah menandatangani RCEP, perjanjian trade deal yang paling besar di dunia. Macam mana kerajaan Johor boleh mengambil kesempatan atau take advantage dengan menandatangani perjanjian RCEP ini. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih. Dalam kita punya usaha untuk membawa pelabur masuk, kita ada teruskan 3H. Jadi, tetapi bila kita rancang, bila sampai masa untuk kita cuba nak merealisasikan, kita tersekat dengan kita punya movement iaitu PKP. Jadi, kita juga melalui chambers, institusi chambers daripada Asia dan through out the world yang mana kita telah berbincang macam mana kita nak merealisasikan apa yang kita dah committed pada yang dah komited, dan setakat ini kita dapat komitmen yang baik daripada mereka dan setelah kita menganjurkan dua program secara maya, dan mereka bersetuju untuk terus komited mempunyai interest yang kuat untuk melabur di negara kita, di negeri Johor. Jadi, kita juga telah kita bersetuju dengan pihak-pihak mereka dan juga kita juga ada mempelawa dia orang untuk membuka pejabat di negeri Johor yang mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga menawarkan untuk merealisasikan komitmen daripada mereka hingga kita menawarkan mereka untuk mereka membuka pejabat, ruang-ruang pejabat di negeri Johor dengan secara percuma untuk dalam masa setahun. Terima kasih.
Seterusnya Yang Berhormat Panti.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 8.
Minta perincikan perancangan dan sasaran kerajaan negeri berhubung projek perumahan mampu milik bagi tahun 2021.
Jemput Yang Berhormat EXCO.
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam makmur. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada YB Panti yang mengemukakan soalan berkaitan dengan rumah mampu biaya dari segi perancangan dan sasaran bagi tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri sentiasa komited bagi melaksanakan Dasar Perumahan Rakyat Johor dan ditegaskan dalam Belanjawan 2021, Yang Amat Berhormat menjelaskan bahawa Projek Perumahan Mampu Biaya ini perlu selari dengan projek-projek yang lain. Dan melalui Bajet 2021 juga kerajaan memperuntukkan sejumlah RM310 juta untuk melaksanakan rumah mampu biaya melalui syarikat pemaju swasta, GLC negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tadi berkaitan dengan perancangan dan juga berkaitan dengan sasaran. Saya ingin menjawab secara ringkas. Dari segi perancangannya, kita akan membina rumah mampu biaya dijangka pada tahun 2021, kerja-kerja berkaitan dengan rumah mampu biaya ini sejumlah 5,120 unit dan dari segi sasarannya pula pada tahun 2021 rumah yang dijangka siap dibina menjelang akhir 2021, 4,440 unit dan yang akan diundi pada tahun 2021, yang akan diserahkan kepada penerima, pembeli, 3,755 unit. Itu sasaran.
Isu utama yang dihadapi oleh pembeli ialah pembiayaan. Kerajaan negeri melalui Bahagian Perumahan, kita membuat Skim Perumahan Makmur Johor. Skim ini mengandungi dua, satu skim rumah mampu biaya bagi rumah RM42,080.00 yang ditanggung oleh kerajaan, maksudnya sewa beli yang diuruskan oleh SUK Perumahan.
Yang kedua Yang Berhormat Tuan Speaker ialah melalui kerjasama dengan institusi kewangan. Saya sebutkan dalam Dewan yang lepas melalui Program Rent to Own. Program ini dalam pelaksanaan dan insya-Allah perjanjian ini akan dimuktamadkan. Saya beri contoh kalau rumah yang berharga RM250,000.00, pembeli hanya mengeluarkan duit pendahuluan RM2,350.00 sahaja dan bayaran bulanan pada paras RM787.00. Selepas mereka lega, disiplin kewangan mereka kukuh, mereka boleh menandatangani perjanjian jual beli biasa dengan pihak bank dengan harga yang lama. Pada harga RM250,000.00. Kekangan yang dihadapi oleh kebanyakan pembeli ialah bila mereka gagal mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank. Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, insya-Allah kerajaan melalui satu lagi perancangan yang kita buat ialah melalui Kempen Transisi 2.0 bagi rumah yang dibina 1997 hingga 2012 pada harga RM35,000.00 kepada harga RM50,000.00 ini tak bersesuaian pada masa kini. Kita nak memberi kelonggaran sikit kepada pemaju, kita buat Kempen Transisi ini, mereka hanya perlu membayar RM5,000.00 sahaja bagi setiap kekurangan bilangan unit rumah tersebut pada paras harga RM42,000.00 dan juga RM80,000.00. Kalau dulu harganya RM35,000.00, RM80,000.00 pada masa kini tak sesuai. Tak ada pemaju yang akan buat rumah ini Yang Berhormat Tuan Speaker.
Satu lagi usaha yang kita buat ialah Yang Berhormat Tuan Speaker, kita memperkemaskan data. Saya bersetuju dengan Yang Amat Berhormat bahawa data kita ni memang agak kekurangan walaupun Team Taskforce Perumahan dah dibentuk, sehingga kini maklumat dan data belum lengkap. Jadi insya-Allah Yang Berhormat Tuan Speaker, kita akan lengkapkan data-data yang berkaitan dengan rumah yang mampu biaya ini tak dibina. Sehingga 31 Oktober 2020 rumah mampu biaya yang tak dibina di seluruh negeri Johor berjumlah 149,667 unit, yang hanya mampu dibina sehingga 2020 ini ialah berjumlah 24,427 unit. Jadi usaha-usaha ini sedang diperkemaskan, data-data ini sedang diperkukuhkan, dalam masa yang sama kita beri kelonggaran sikit kepada pemaju untuk membina rumah
mampu biaya melalui Kempen Transisi dalam tempoh setahun kita ini boleh jangka dalam 3,000 unit yang akan menyertai program ini.
Kedua ialah kita membantu pembeli memudahkan mendapat pembiayaan. Ini yang kita sebut dari segi sasaran, saya sebutkan Yang Berhormat ialah 5,120 unit akan mulakan kerja sama ada kerja tanah, kerja-kerja apa ni building plan dan sebagainya, 4,445 dijangka siap dan 3,755 akan diundi pada tahun depan. Itu jawapan saya Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya Panti jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan dan saya ucapkan ribuan terima kasih kerana ialah antara perkara yang memang menjadi isu di peringkat pembelian rumah mampu biaya ini adalah pembiayaan dan saya ucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kerana adanya usaha-usaha seperti yang telah diterangkan oleh Yang Berhormat EXCO berkaitan contohnya, berkaitan program sewa beli dan sebagainya. Cuma saya ingin apa bertanya kepada pihak kerajaan adakah bersedia, maksudnya kalau kita lihat antara inisiatif yang diumumkan ataupun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat berkaitan contoh dalam bidang keusahawanan adalah Skim Pembiayaan PKS Negeri Johor maknanya dia ada kerjasama dengan Bank Rakyat. Sebab kalau tadi Yang Berhormat EXCO kata ialah program sewa beli, adakah negeri bersedia untuk berbincang juga dengan institusi perbankan yang lain maknanya kita buat pinjaman itu secara terus dengan pihak bank sebab dalam keadaan wabak COVID ini kita dapat tahu bank ada syarat-syarat tambahan, contohnya, industri-industri yang berkaitan aviation, industri penerbangan, kadang-kadang bila dia apply aje, belum isi borang lagi dia kata dia terus tolak, maksudnya isu-isu seperti itu adakah diambil kira, maknanya mungkin perbincangan yang lebih lanjut dengan pihak-pihak bank, kalau sebelum COVID mungkin perkara itu lebih mudah, tetapi lebih COVID ada industri-industri yang terkesan dengan perkara-perkara seperti ini. Terima kasih.
Ok jemput YB EXCO. Convinced bank.
Yang Berhormat Tuan Speaker, setakat ini bank yang bersedia memberikan kerjasama dan sentiasa memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri ialah Maybank dan kita dalam rangka untuk seperti yang saya sebutkan awal ialah memuktamadkan perjanjian kita dengan Maybank dan juga kerajaan, dengan kerajaan negeri. Tapi seperti yang dicadangkan oleh Panti dalam keadaan COVID ini, kita faham pihak institusi kewangan akan memperketatkan dasar pinjaman mereka, dan kalau ada pihak bank yang setuju seperti mana yang kita dah bincang dengan Arab Bank, Islamic, mereka pun bersetuju untuk bersama kita dalam Program Rent to Own tetapi masih lagi dalam proses perbincangan. Kalau Bank Rakyat ataupun bank-bank lain yang setuju, insya-Allah pihak kerajaan negeri sentiasa terbuka dan bersedia kerana ini adalah kemudahan kepada pembeli yang rata-ratanya agak sukar bila menggunakan pendekatan perjanjian biasa ataupun konvensional, pinjaman biasa Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih.
Ya, Kota Iskandar, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya nak sentuh tentang angka yang disebut 149,000 rumah mampu biaya Johor yang sepatutnya dibina oleh pemaju tetapi tidak dibina adalah disebabkan beberapa kelemahan yang terdapat di dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor yang Kerajaan Pakatan Harapan yang lepas telah pun memperkenalkan Dasar yang baharu berkuat kuasa pada 1 April 2019.
Soalan saya Yang Berhormat Tuan Speaker satu saja tapi ada pecahan 3, ringkas aje. Yang pertama, tentang hasrat memperuntukkan RM310 juta dana bagi pembinaan rumah melalui kerjasama GLC dan juga penswastaan. Saya suka memberi ingatan bahawa sebahagian besar projek penswastaan perumahan yang dilaksanakan oleh kerajaan Johor sebelum ini menemui kegagalan, berakhir dengan tanah kerajaan terlepas begitu sahaja. Saya minta jangan pisang berbuah dua kali, jangan perkara yang tidak baik untuk kerajaan itu diulangi buat kali kedua. Yang kedua, tentang...
Satu sahaja soalan Yang Berhormat. Dan, buat dan...
Dan... dia bukan full stop tadi tu. Tentang transisi yang disebutkan tadi, iaitu tentang diberikan promosi ataupun insentif RM5,000.00 berbanding dengan RM40,000.00 ke RM60,000.00 penalti yang dikenakan sekarang.
Saya teringat sebelum ini juga kerajaan pernah melaksanakan transisi dengan mengenakan lebih kurang RM7,500.00 seunit dan perkara ini kalau mengikut Laporan Audit Negara, ianya tertakluk dan juga mempunyai unsur budi bicara dan saya yakin dan percaya unsur budi bicara ataupun discretion ini akan mendedahkan kepada unsur yang tidak sihat iaitu rasuah dan sebagainya. Dan bagaimana kita nak menampung kekurangan, sedangkan kita hanya mengenakan penalti RM5,000.00, sedangkan rumah mampu biaya itu sahaja yang dijual RM42,000.00, kos binaan aje telah mencecah hampir RM80,000.00 ke RM100,000.00. Sekian Yang Berhormat Tuan Speaker.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dari segi rumah mampu biaya yang berjaya dibina. Saya bacakan mengikut tahun kalau diizinkan.
2 minit Yang Berhormat.
Tahun 2014 Yang Berhormat Tuan Speaker, 1,289 unit; 2015 – 4,647 unit; 2016 – 6,403 unit; 2017 – 5,940 unit dan 2018 – 3,696 unit; 2019 – 5,597 unit.
Bagi tahun 2018 - 2019 ni Yang Berhormat Tuan Speaker, tak ada kerja-kerja pecah tanah sepanjang tempoh tersebut. Sebab tu saya jelaskan kita kira berdasarkan tahun 1997 hingga 2020 ni masih berbaki yang sepatutnya dibuat oleh pemaju, 149,667 unit.
Jadi usaha-usaha ini kita buat melalui perubahan, beberapa perubahan. Kalau saya sebutkan tadi kempen transisi. Sekurang-kurangnya Yang Berhormat Tuan Speaker, kita memberi kelonggaran kepada pemaju. Bayangkan persetujuan awal, dasar awal harga rumah RM35,000.00. Kita fikir ini boleh bina, tak boleh bina, for sure tak boleh bina, dengan izin Yang Berhormat. Rumah harga RM50,000.00, dasar yang baru ini RM42,000.00 dan RM80,000.00, kalau bilangan dia tak cukup disebabkan pindaan dan sebagainya, kita bagi pada bayaran RM5,000.00. Yang itu insya-Allah kita akan lihat balik dari segi teguran yang disebutkan tadi.
Cuma dari segi cadangan Yang Berhormat tentang pisang berbuah dua kali eh... ada pisang berbuah dua kali Yang Berhormat? Tak ada kan? dia buah sekali aje Yang Berhormat Tuan Speaker (ketawa). Insya-Allah, dengan kerjasama pihak kerajaan, pihak GLC ni Yang Berhormat kita akan pastikan melalui Jawatankuasa yang kita bentuk bersama PTG, PTD dan juga SUK Perumahan, kita pastikan projek yang kita serahkan kepada pihak swasta ini dapat dilaksanakan.
Saya setuju dengan Kota Iskandar. Banyak projek-projek penswastaan yang gagal dibina kerana kurangnya pemantauan dan perjanjian itu terlalu longgar, yang memihak kepada pemaju. Insya-Allah, perkara ini akan kita revise balik dan kita bersetuju mana-mana pemaju yang tak mampu nak bina rumah di kawasan tanah tersebut. Kalau saya dah mengadakan perbincangan dengan REHDA, kita akan serahkan kepada pihak lain yang bersedia untuk memajukan tanah tersebut dengan kos yang saya kira yang lebih rendah sebab no land cost dan mungkin kita bincangkan pemaju, kalau dia gagal kena bayar RM40,000.00 dan di kawasan luar daripada Iskandar ni, mungkin kita kaji balik mengikut dasar yang kita tetapkan. Yang penting Yang Berhormat, kita dapat laksanakan, membina sebanyak 149,000 rumah ini bagi kelompok M40 dan juga B40.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Bentayan jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 9.
Berapakah usahawan-usahawan telah menyertai program Jualan Makmur Johor (JMJ) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat di Negeri Johor?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat Bentayan. Dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat Johor dan dalam masa yang sama masih berdepan dengan pandemik COVID-19, kerajaan negeri Johor telah melancarkan program Jualan Makmur Johor (JMJ) secara atas talian tahun 2020 pada 28 Oktober yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.
Program ini merupakan satu kerjasama antara kerajaan Johor dan Shopee Malaysia serta KPDNHEP ataupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebagai agensi pelaksana. Dan bagi program JMJ ini, usahawan yang menyertainya adalah seramai 70,564 usahawan peruncit dan pemborong berkaitan dengan barang keperluan asas dan harian. Terima kasih.
Ya Bentayan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan saya ialah program Jualan Makmur Johor ini bukan sahaja ok, membantu untuk meringankan kos sara hidup rakyat di negeri Johor sahaja. Dia seharus juga membantukan usahawan-usahawan daripada negeri Johor. Jadi soalan tambahan saya ialah antara usahawan-usahawan ini, berapakah daripada mereka adalah datang daripada negeri Johor?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih YB Bentayan. Untuk makluman, pihak saya tiada data spesifik mengenai jumlah penglibatan usahawan dari Johor yang menyertai JMJ ini. Program JMJ ini dia adalah ianya satu program terbuka kepada semua usahawan dari seluruh negara. Walau bagaimanapun, pihak Shopee ada membuat jemputan kepada usahawan-usahawan dari Johor untuk menyertai program ini sebelum ianya dilancarkan. Dan pihak saya akan membuat data crunching selepas ini untuk mendapatkan data-data yang diperlukan. Terima kasih.
Ya Pemanis jemput. Eh sorry, Paloh sorry.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan tambahan saya berkaitan dengan Jualan Makmur Johor ini. Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa jawapan kepada soalan tambahan yang telah diberikan tadi agak mengecewakan kita kerana sebagai sebuah kerajaan negeri Johor, kita harus sentiasa bersikap pro kepada usahawan-usahawan di peringkat negeri Johor ini sendiri. Dan juga di saat berlaku pandemik sebegini, kita harus melihat keperluan-keperluan dan kepentingan-kepentingan yang memihak ataupun menyebelahi rakyat ataupun Bangsa Johor ini sendiri.
Soalan Yang Berhormat?
Jadi soalan saya ialah apakah di sana, peringkat YB EXCO akan memastikan bahawa usahawan-usahawan di peringkat negeri Johor diberikan keutamaan khususnya saat kita berhadapan dengan situasi yang sukar, pandemik COVID-19 ini dan adakah jumlah ini akan diberikan keyakinan kepada Dewan ini bahawa kita akan meningkatkan jumlah usahawan-usahawan yang terlibat dengan Jualan Makmur Johor ini daripada negeri Johor sendiri. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Paloh. Untuk makluman, objektif utama program JMJ yang dijalankan dengan usaha sama KPDNHEP adalah untuk memberi peluang kepada rakyat negeri Johor untuk membeli barang keperluan asas dan barang keperluan harian pada harga yang lebih murah dan berpatutan. So, dia lebih kepada consumer based. Justeru, program ini lebih mementingkan pengguna atau pembeli untuk mendapatkan tawaran yang terbaik serta value for money.
Bagi program untuk usahawan tempatan Johor pula, ada satu program yang disediakan iaitu program Johor e-Marketplace. Itu juga dilaksanakan melalui Shopee yang dijalankan oleh kerajaan negeri Johor melalui PUJB (Perbadanan Usahawan Johor) dengan kerjasama Shopee. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Tanjung Surat jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 10.
Berapakah kes-kes pencemaran sungai yang telah dikesan di negeri Johor sejak awal tahun ini?
Yang Berhormat Tangkak, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 11.
Apakah tindakan Jabatan Alam Sekitar dalam mengatasi masalah sungai, pencemaran sungai, longkang serta saliran air di negeri Johor?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat Tanjung Surat dan Yang Berhormat Tangkak secara bersekali.
Yang Berhormat Speaker, berdasarkan rekod Alam Sekitar Negeri Johor, bermula daripada 1 Januari 2020 hingga 30 Oktober 2020, terdapat 140 aduan yang berkaitan dengan pencemaran air sungai. Semua aduan telah disiasat dan diambil tindakan susulan.
Yang Berhormat Speaker, apabila kita berbincang mengenai soal pencemaran dalam konteks sungai, antara jenis pencemaran yang biasa berlaku ialah sampah sarap domestik dan pepejal, aktiviti tapak pembinaan, aktiviti lombong seperti pengorekan pasir sungai, aktiviti ladang seperti racun dan pembajaan, aktiviti ladang penternakan, aktiviti industri dan bengkel, aktiviti perbandaran, aktiviti kumbahan, loji kumbahan sama ada daripada industri ataupun perumahan, aktiviti menangkap ikan iaitu dengan cara menuba ikan, tumpahan minyak dan bahan kimia, air resapan dari tapak pelupusan sampah.
Yang Berhormat Speaker, berkaitan dengan dalam usaha menangani pencemaran sungai, Jabatan Alam Sekitar adalah merupakan salah satu agensi utama yang dipertanggungjawabkan dalam mengawal pelepasan dari premis-premis industri, loji-loji kumbahan dan air larut resap iaitu tapak pelupusan sampah melalui penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor turut membuat pemantauan kualiti air secara berskala ke atas sebahagian besar sungai-sungai utama di negeri Johor terutamanya yang menjadi sumber air mentah bagi loji rawatan air minum.
Bermula tahun 2020, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah meningkatkan program penguatkuasaan dengan mengadakan Ops Gempur ke kilang-kilang yang dikategorikan sebagai bermasalah di seluruh negeri Johor dan di kawasan tumpuan seperti di Pasir Gudang.
Sasaran operasi antaranya adalah terhadap premis yang terletak di hulu takat pengambilan air. Tindakan perundangan seperti kompaun, notis arahan, perintah penahan operasi dan tindakan mahkamah telah dikenakan terhadap premis-premis yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Antara contoh aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar ialah terhadap kilang-kilang perindustrian, kilang kelapa sawit, kilang getah dan kilang-kilang yang memproses, mengitar semula buangan terjadual termasuk juga loji jana kuasa, loji pengolahan kumbahan milikan kerajaan dan swasta, klinik, bengkel, hospital, hotel, kuari, gudang dan sebagainya.
Selain daripada tindakan undang-undang dan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawah, Jabatan Alam Sekitar juga sentiasa membuat engagement dengan pihak komuniti untuk memastikan bahawa kesedaran dan juga program-program penerangan disampaikan ke peringkat akar umbi supaya masyarakat juga menjadi mata dan telinga untuk memberi informasi kepada jabatan sekiranya berlaku isu-isu pencemaran yang berlaku di sekeliling kawasan perumahan ataupun di komuniti yang terbabit.
Ya, jemput Tanjung Surat, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya adakah sungai-sungai terutama sungai utama di Johor telah digredkan? Maksud saya telah dapat dikenal pasti tahap pencemarannya? Terima kasih.
Jemput EXCO.
Yang Berhormat Speaker, terima kasih di atas soalan tambahan. Yang Berhormat Speaker, di negeri Johor kita sebenarnya mempunyai 399 jumlah batang sungai. Pengawasan kualiti air sungai yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor melibatkan 23 lembangan sungai yang merangkumi 126 batang sungai. Pengawasan kualiti air sungai tersebut adalah lebih kepada fungsi dan justifikasi tertentu untuk memantau impak industri kepada ambient sungai serta aliran sungai yang memasuki loji rawatan air mentah.
Oleh itu ia tidak melibatkan kesemua 399 batang sungai yang terdapat di negeri Johor. Indeks kualiti air atau water quality indexes dengan izin digunakan sebagai asas dalam menentukan kadar pencemaran dan pengelasan sungai-sungai tersebut. Parameter yang terlibat dalam pengiraan indeks kualiti air adalah amonikal nitrogen keperluan oksigen biokimia, keperluan oksigen kimia oksigen terlarut dan pepejal terampai. Yang Berhormat Speaker, pecahan bilangan sungai mengikut kelas dan status pencemaran adalah seperti berikut: Sungai-sungai dikelaskan kepada kelas 1, kelas 2, 3, 4 dan 5. Daripada jumlah 126 batang sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar dalam konteks kelas 1 iaitu di mana indeks kualiti air melebihi 92.7 % kita ada dua batang sungai. Dalam konteks kelas 2 indeks kualiti air di antara 76.6% hingga 92.7 % kita ada 59 batang sungai. Dalam konteks kelas 3 iaitu indeks kualiti air di antara 51.9% hingga 76.5 % kita ada 47 batang sungai. Kelas 4 di antara 31% hingga 51.9%, kita ada 18 sungai dan kelas 5 itu di bawah 31% ,tidak ada mana-mana sungai.
Jadi dalam konteks status di mana kita boleh juga bezakan di antara sungai status bersih, separa tercemar dan tercemar. Dalam konteks sungai yang bersih iaitu indeks kualiti air dari 81% hingga 100% kita ada 47 batang sungai. Dalam konteks separa tercemar iaitu indeks kualiti air daripada 60 % hingga 80%, kita juga ada 47 batang sungai dan dalam konteks tercemar iaitu di antara 0 % hingga 59%, kita ada 32 sungai yang tercemar. Terima kasih.
Ya Skudai jemput.
Terima kasih kepada Tuan Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas penjelasan panjang lebar tadi. Bagi saya pencemaran air sungai ni sangat penting satu isu yang besar kerana kadang kala dia akan menjejaskan kualiti air mentah dan seterusnya menjejaskan kualiti air terawat. Bagi bulan Julai yang lalu di sekitar Johor Bahru dan daerah Kulai terutamanya dalam sistem penyaluran Loji Semanggar telah mendapati air terawat mereka iaitu air paip ada bau pandan. Dan sehingga sekarang tiada satu jawapan yang jelas daripada pihak kerajaan siapa yang terlibat, apakah punca pencemarannya dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mereka yang mengakibatkan pencemaran. Saya minta pencerahan daripada Yang Berhormat EXCO.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker, terlebih dahulu saya dalam konteks bahawa air pandan kita tak ada jawapan pada pagi ini kerana tidak ada soalan berkaitan dengan itu. Walau bagaimanapun dalam konteks membuat siasatan dan sebagainya semua agensi terlibat termasuk bukan sahaja Jabatan Alam Sekitar, agensi-agensi yang lain juga telah mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu dalam konteks di mana air dikatakan berbau pandan dan sebagainya. Dan isu itu telah pun diselesaikan dengan seberapa segera yang boleh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya dalam konteks menjaga pencemaran sungai ini tugas dan tanggungjawab menjaga sungai adalah khazanah kepada kita semua. Dalam konteks menjaga khazanah ini tanggungjawab ini harus diambil oleh semua lapisan masyarakat bukan hanya sekadar agensi-agensi yang berkaitan. Kerana kita kena pastikan
sungai-sungai ni kita jaga supaya diwarisi oleh anak cucu cicit kita, inilah sesuatu yang penting.
Jadi dalam konteks menjaga sungai-sungai dan sebagainya berbagai inisiatif dan program telah pun telah dijalankan, bukan sahaja di bawah Jabatan Alam Sekitar malah agensi-agensi lain seperti JPS juga telah pun mengambil tindakan susulan dan tindakan-tindakan baru untuk mempastikan sungai-sungai di peringkat daerah kita menjaganya dengan baik, kita menjadikan sungai-sungai ini bukan sahaja dalam konteks ianya bersih tetapi juga dibuat rehabilitasi supaya sungai ini menjadi mesra kepada komuniti yang ada di sekeliling.
Dan dalam konteks Jabatan Alam Sekitar, memang Jabatan Alam Sekitar peka bahawa tindakan selain daripada tindakan Ops Gempur yang dijalankan secara besar-besaran di mana mereka telah membuat tindakan ini, membuat operasi ini kepada kebanyakan kilang sama ada dalam kilang-kilang yang terlibat dalam industri pertanian, industri kimia, industri pepejal dan sebagainya dan juga mereka membuat pemutihan dalam konteks mempastikan data disediakan supaya kita ada kategori kilang-kilang yang sebenarnya, problem mereka dengan izin, problem mereka dan kilang-kilang yang mematuhi dengan indeks yang telah pun ditetapkan.
Jadi dalam konteks tersebut Jabatan Alam Sekitar memang sentiasa peka, Jabatan Alam Sekitar dalam pada hari ini apabila menerima apa jua complaint dengan izin, daripada mana-mana pihak mengambil ianya sebagai serius dan kita terus turun untuk membuat pemantauan dan penilaian dan membuat siasatan yang sepatutnya kita lakukan. Terima kasih.
Soalan seterusnya, air sungai rasa tawar, jemput Penawar.
Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya nombor 12.
Apakah usaha kerajaan dalam memastikan rantaian nilai sektor pertanian negeri Johor yang lebih komprehensif?
Jemput Yang Berhormat Jementah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 13.
Apakah perancangan, strategi dan langkah-langkah berdaya saing yang boleh dilaksanakan oleh negeri Johor untuk meningkatkan dan mempastikan bekalan keselamatan makanan negara terjamin?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon izin untuk menjawabnya sekali gus. Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan mengenal pasti, menilai dan memperkasa setiap aktiviti dan elemen di sepanjang rantaian nilai dan sektor pertanian, ia sekali gus dapat memajukan sektor pertanian. Ini bermaksud untuk mempastikan rantaian nilai tidak terputus dan tidak mewujudkan masalah. Dalam erti kata yang lain usaha perlu dilakukan untuk mempastikan agar rantaian nilai yang ada dalam aktiviti agro makanan adalah kekal untuk menjamin kelangsungan industri keseluruhannya sekali gus meningkatkan tahap bekalan keselamatan makanan Negara.
Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, negeri Johor berwawasan besar untuk melonjakkan lagi industri pertanian negeri. Negeri Johor bukan hanya mahu mengekalkan tetapi malah juga akan memperkasakan status negeri kedua tertinggi dalam sumbangannya
kepada KDNK di sektor pertanian dengan 16.2 % pada masa ini. Komitmen ini dilakukan dengan peruntukan RM16.65 juta oleh kerajaan negeri untuk kegiatan pertanian di negeri ini untuk tahun 2021. Ini adalah satu rekod iaitu pertambahan sebanyak 35.34 % berbanding tahun 2020. Ini adalah komitmen pertama kerajaan negeri.
Lebih dari itu kerajaan negeri akan menerima suntikan dana sebanyak RM35 juta untuk dua tahun yang akan datang. Sukacita dimaklumkan bahawa peruntukan-peruntukan ini akan dimanfaatkan oleh semua elemen dan aktiviti seluruh rantaian nilai dalam sektor pertanian. Yang Berhormat Tuan Speaker, penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor (JSMNJ) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri besar sendiri adalah satu gambaran yang serius mengenai usaha kerajaan negeri agar ia selari dengan usaha kementerian di peringkat kerajaan pusat melalui Jawatankuasa Kabinet mengenai dasar sekuriti makanan negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Selanjutnya kerajaan negeri sedang merangka Dasar Agro Makanan Negeri Johor (DAMNJO) dan 2021 hingga 2030 selari dengan Dasar Agro Makanan Negara 2020. Ini adalah bagi mempastikan agar usaha untuk memperkasa sektor agro makanan Johor selari dengan usaha kementerian di peringkat nasional. Untuk menjadikan pendekatan mempertingkatkan rantaian nilai yang lebih komprehensif, pelbagai inisiatif dibuat dengan memfokuskan kegiatan di sepanjang rantaian nilai agar selari dengan fokus di peringkat nasional.
Pertama, ianya adalah dengan menekankan agenda food safety dengan izin ataupun keselamatan makanan. Dengan program-program pemantapan bio sekuriti makanan pemantapan pelesenan racun makhluk perosak dan pembangunan pertanian berkomuniti. Ini termasuklah meningkatkan pensijilan MyGap dan MyOrganic serta menggalakkan amalan integrated phase management atau pengurusan perosak.
Keduanya, kerajaan menggalakkan penggunaan teknologi industri revolution atau IR4.0 dalam rangkaian pengeluaran. Penggunaan mekanisasi dan automasi serta meningkatkan adaptasi dan menerima gunaan teknologi. Ini semua termasuklah proses pembangunan data geospatial smart irrigation.
Yang ketiganya adalah kualiti benih. Usaha menggalakkan penggunaan benih tulen dan sah, penerapan elemen kualiti dalam penghasilan benih serta meningkatkan pengeluaran benih-benih tempatan.
Yang keempat, adalah menekankan balance of trade ataupun keseimbangan dagangan. Kerajaan mensasarkan tanaman yang masih rendah excessnya atau tahap kecukupan dengan menggalakkan tanaman yang berpotensi untuk dieksport atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar import.
Dan yang kelima, Sustainable Development Gold ataupun SDG atau matlamat pembangunan mampan dengan mengutamakan pertanian yang lestari dan mapan dengan mengambil kira kesan daripada dan kepada alam sekitar.
Selain daripada itu semua, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk memenuhi hasrat negara-negara luar untuk menjadikan Johor sebagai bank makanan mereka. Untuk itu, kerajaan negeri berhasrat mengujudkan satu kompleks bersepadu untuk proses pengumpulan pemprosesan, penggredan dan pembungkusan serta pengedaran melalui konsep private finance initiative, insya-Allah. Terima kasih.
Ya Jemput, Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat EXCO. Saya tertarik dengan RM35 juta suntikan dana daripada kerajaan persekutuan. Boleh Dewan ini diberikan maklumat terperincinya bagaimanakah peruntukan ini akan dibelanjakan, kumpulan atau industri yang disasarkan dan pendekatan pelaksanaannya, saya mohon.
Jemput YB EXCO
Terima kasih Jementah, syukur Alhamdulillah berkat usaha dan inisiatif Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita, kita telah mendapat suntikan sebanyak RM35 juta melalui program melaksana daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Dan ia akan dibahagikan kepada tiga sektor utama iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan JPH iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Saya ingin maklumkan tuan-tuan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan untuk Jabatan Pertanian Negeri Johor telah diperuntukkan sebanyak RM16.665 juta. Ia meliputi program pengeluaran hasil pertanian, program peningkatan hasil padi di luar jelapang padi yang tidak pernah mendapat peruntukan sebelum ini, program pertanian komuniti, program pengeluaran makanan selamat, program pemilikan teknologi mekanisasi, program kolaborasi syarikat peneraju dan pengusaha.
Ini bermakna saya nak maklumkan dalam Dewan in bahawa buat pertama kalinya kita juga mengambil kira stake holders di kalangan big-big players atau pemain-pemain besar di dalam industri. Dengan menyediakan dana-dana padanan untuk mereka dan pada masa yang sama juga untuk Veterinar, Jabatan Veterinar Negeri Johor akan menerima RM5.5 juta untuk program pembangunan hab pedaging ruminan, pembangunan lembu integrasi, pembangunan lembu tenusu, pembangunan industri makanan, pembangunan unggas dan program khas bancian menyeluruh industri makanan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada masa yang sama juga kita juga menyediakan peruntukan untuk Jabatan Perikanan sebanyak RM2 juta iaitu untuk projek Agriculture Bersepadu Negeri Johor, pengenalan inovasi sistem kumbah pengering dan program bantuan perkakasan peralatan peranti pengumpulan makanan. Selain daripada itu juga tidak lupa juga kepada komuniti nelayan. Kita juga memberi peruntukan khususnya untuk Persatuan Nelayan Negeri Johor sebanyak RM400,000.00 untuk program permulaan mereka.
Yang Berhormat Tuan Speaker, program ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor. Dan ini sekali gus akan merangkumi semua elemen aktiviti dalam rantaian nilai pertanian dalam negeri Johor. Ditambah daripada itu saya nak maklumkan tuan-tuan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan keseluruhan peruntukan untuk sektor pertanian untuk tahun 2021, 2022 dan 2023 adalah RM62.65 juta. Justeru itu, saya ingin mengajak semua pemain-pemain industri baik kecil, sederhana mahupun besar bersama-sama untuk menggunakan, memanfaatkan perkara ini. Saya secara serius ingin menyatakan bahawa kita akan hanya melihat kepada genuine player ataupun pemain-pemain yang tulen dalam industri sektor pertanian dan kepada saya Ahli-Ahli Yang Berhormat juga adalah layak untuk menjadi salah satu ejen pengembang kepada sektor pertanian negeri Johor untuk menjadikan Johor sebagai Food Basket of Malaysia. Terima kasih.
Ya Penawar jemput.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Begitu baik jawapan yang diberi. Soalan saya, bagaimana pula usaha kerajaan dalam memastikan nilai rantaian dari aspek nilai pasaran
produk itu benar-benar memberikan faedah kepada pengeluar kecil-kecilan seperti pekebun, petani, penternak dan sebagainya? Biasanya pengeluar dalam skala yang kecil tidak mendapat faedah yang sebenar dari segi nilai pengeluarannya kerana melibatkan orang tengah dan bersaing dengan pemain-pemain ataupun petani-petani berskala besar. Bagaimanakah cara penyelesaiannya. Thank you.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Penawar. Sukacita saya nak maklumkan bahawa dalam rantaian nilai ini yang paling penting dalam negeri Johor adalah untuk mengenalkan satu konsep, You Grow We Buy, awak tanam, awak bela, kita beli. Pasaran adalah amat penting. Kita tidak mahu lagi berlaku seperti zaman dahulu kala Yang Berhormat Tuan Speaker apabila semua orang mengajak membela ikan keli, membekalkan ikan keli, membekalkan peralatan tetapi bila tiba untuk pembelian baliknya tidak ada orang yang membeli dan tiada harganya. Justeru itu, saya ingin maklumkan dalam hal ini juga kita memperuntukkan sebagaimana yang telah diumumkan dalam Ucapan Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar peruntukan diberikan sebanyak RM50,000.00 untuk PPHP, Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian untuk PPK Benut dan juga Kluang yang telah terbukti berjaya di kalangan mereka. Yang penting adalah untuk mempastikan bahawa pengusaha-pengusaha kecil mendapat pasaran dan pada masa yang sama juga kolaborasi bersama dengan pemain-pemain besar industri yang telah berjaya dengan pengusaha-pengusaha kecil adalah amat penting. Sebab itu kita memperkenalkan dan menganjurkan agar pertanian secara contract farming diadakan di kalangan mereka agar pengusaha akan terus mengeluarkan hasil makanan, hasil agro makanan dan ada tempat mereka untuk memasarkan dan pada masa yang sama juga, ia menyeluruh baik dalam soal pertanian, perikanan mahupun penternakan. Yang Berhormat Tuan Speaker, soal pasaran adalah amat penting dalam hal ini. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Tenggaroh jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 14.
Apakah perancangan kerajaan negeri untuk anak-anak muda di Johor khususnya di daerah Mersing?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, syukur alhamdulillah kerajaan negeri merafak sembah dan menjunjung kasih perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah berbesar hati melantik Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor untuk mengetuai dan memimpin seluruh aktiviti belia di negeri Johor. Titah ini menunjukkan keprihatinan institusi DiRaja Johor terhadap masa depan orang muda Johor. Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang merupakan inspirasi kepada anak muda Johor telah berjaya menjadikan pasukan JDT sebagai satu jenama bola sepak yang digeruni, dihormati di peringkat negara dan dunia. Baginda telah berjaya meletakkan Johor di kelasnya yang tersendiri. Kerajaan negeri percaya Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor akan memberi nafas baharu dalam memimpin aktiviti belia di negeri Johor yang kita sayangi ini dengan strategi yang lebih terancang dan inklusif.
Yang Berhormat Speaker, seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar antara inisiatif utama kerajaan negeri untuk orang muda Johor adalah untuk membina Tunku Mahkota Ismail Youth Centre atau TMIYC di setiap daerah. Tujuan
penubuhan TMIYC ini adalah untuk menjadi nukleus untuk melahirkan belia-belia negeri Johor yang dapat bersaing dengan anak-anak muda di mana-mana negeri mahupun negara, insya-Allah. Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, insya-Allah TMIYC Johor Bahru akan dirasmikan pada bulan Disember tahun ini manakala TMIYC Muar dan Mersing akan dibina seawal tahun hadapan. TMIYC Mersing akan dibina di Lot PBT 1124 dengan peruntukan awal sebanyak RM2 juta. Antara fasiliti yang disediakan di TMIYC Mersing adalah aktiviti water sports, wall climbing, Studio e-Sports, pentas kebudayaan dan lain-lain. Selain daripada itu, hab ini akan menjadi pintu masuk kepada para pelancong bagi melakukan aktiviti air di kepulauan Taman Laut Sultan Iskandar. Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat semasa Ucapan Belanjawan pada 26 November bagi menggalakkan penglibatan belia dan aktiviti berkaitan kesukarelaan dan kepimpinan, kerajaan negeri telah menyusun beberapa inisiatif untuk tujuan itu iaitu:
1. Southern Volunteers yang meliputi penyertaan belia untuk aktiviti kesukarelaan.
2. Program Kepimpinan untuk memimpin orang muda Johor setaraf dengan pemimpin muda di peringkat global melalui Dewan Muda Johor.
3. Hikmah Johor sebagai platform kepada bekas-bekas pemimpin dan tokoh-tokoh negeri Johor berkongsi pengalaman, idea dan pemikiran buat golongan orang muda.
4. Kerajaan Johor akan memberikan dana galakan persatuan belia termasuklah belia di Mersing bagi melaksanakan program aktiviti kesukarelaan khidmat bakti masyarakat belia, sukan dan rekreasi.
Yang Berhormat Speaker, selain daripada fokus-fokus di atas, agenda khusus kepada orang muda Johor akan turut diberikan dalam lingkungan ekonomi belia. Antara program-program yang akan dilaksanakan adalah Projek Pembangunan Belia Tani FELDA dan Agropreneur Muda Johor. Saya percaya di Mersing pun ada FELDA. Tambahan, Program Aktif Johor akan diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM1.98 juta bagi merakyat dan menggalakkan aktiviti sukan sebagai gaya hidup rakyat Johor. Program Sukan Makmur Aktif Johor akan dilaksanakan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor. Acara Aktif Johor Fun Ride, Fun Run dan e-Sports juga akan dilaksanakan di bawah JODEC.
Yang Berhormat Speaker, terdapat juga aktiviti-aktiviti sukan dan kebudayaan yang telah dirancang tahun hadapan yang akan melibatkan penglibatan belia-belia khususnya di daerah Mersing. Antara aktiviti yang telah dirancang adalah Mersing Art Fiesta, Pesta Air Papan, Mersing MTB Jamboree, Mersing Monsoon Rugby Challenge. Sekian.
Ya Tenggaroh jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan atas jawapan mengenai perancangan untuk belia khususnya di Mersing. Soalan tambahan saya, adakah kerajaan negeri melibatkan anak-anak muda dalam merangka program dan inisiatif untuk anak-anak muda? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sangat mengutamakan pandangan dan penglibatan anak-anak muda dalam kita merangka masa hadapan mereka. Jadi, jawapannya adalah ya, Yang Berhormat Speaker. Sesi libat urus bersama anak-anak muda telah dibuat beberapa kali tahun ini bersama agensi dan jabatan kerajaan bukan sahaja untuk merangka program, kerajaan negeri juga telah melibatkan
orang-orang muda Johor untuk membincangkan dan mencadangkan perkara-perkara yang sepatutnya kita letakkan di dalam belanjawan pada tahun ini untuk tahun hadapan. Dan seperti yang kita lihat kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah memperuntukkan sebanyak RM57 juta khas untuk program-program orang muda Johor. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Majlis Belia Negeri Johor, Dewan Muda Johor, Majlis Belia FELDA Johor, MAYC dan semua NGO-NGO belia yang sentiasa bersama dalam kita membangunkan dan memajukan anak-anak muda di negeri Johor ini. Sekian.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Semerah jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 15.
Nyatakan berapakah jumlah sekolah agama negeri Johor mengikut daerah dan bagaimana pihak berkuasa memantau keadaan fasiliti serta infrastrukturnya. Berapa jangka masa diambil bagi membaiki setiap aduan yang dibuat?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi soalan daripada sahabat saya Semerah, untuk makluman jumlah sekolah-sekolah agama bagi daerah-daerah negeri Johor adalah seperti berikut; bagi daerah Johor Bahru sebanyak 91 buah sekolah, bagi daerah Muar sebanyak 56 buah sekolah, bagi daerah Batu Pahat sebanyak 106 buah sekolah, Segamat, 55 buah sekolah, Kluang, 48 buah sekolah, Pontian, 54 buah sekolah, Kota Tinggi, 72 buah sekolah, Mersing, 31 buah sekolah, bagi daerah Tangkak, 39 buah sekolah dan daerah Kulai sebanyak 26 buah sekolah. Jumlah sekolah-sekolah agama bagi seluruh negeri Johor ialah sebanyak 578 iaitu 2 buah sekolah menengah agama kerajaan yang satu di Kluang dan satu di Maahad Johor.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan juga Yang Berhormat Semerah, proses bagi permohonan fasiliti pembaikan sekolah-sekolah agama bagi peringkat daerah, yang pertamanya, guru besar akan memaklumkan kepada Pegawai Pendidikan Islam Daerah bagi memajukan perkara-perkara yang berkaitan dengan kerosakan-kerosakan sekolah-sekolah agama di peringkat daerah. Dan pemakluman tersebut akan dibawa terus kepada Bahagian Pengurusan Pembangunan Sekolah-Sekolah Agama peringkat negeri dan biasanya tiap-tiap sebulan sekali mesyuarat-mesyuarat tentang perkara-perkara ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Perkara Am, Majlis Agama Islam Negeri Johor. Dan bagi mana-mana kaedah sebut harga biasanya kita bergantung kepada jumlah peruntukan-peruntukan yang telah dibawa oleh pihak Pegawai Pendidikan Daerah sama ada ianya boleh dibahagikan mengikut keperluan, bahagian terus atau melalui tender. Sekian Yang Berhormat Speaker.
Semerah jemput.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Kita tahu dalam bajet pada tahun ini untuk tahun depan 2021 ada sebanyak RM9 juta dikhaskan untuk baik pulih dan penambahbaikanlah infra sekolah agama Johor dan juga sekolah agama bantuan kerajaan serta RM1.5 juta untuk infra bagi sekolah SRAB. Jadi, tadi Yang Berhormat EXCO telah memaklumkan tentang kaedah-kaedahnya, jadi sekarang ni bajet dah ada, saya mengharapkan pihak Jabatan Agama dapat lebih kerap turun ke padang kerana untuk makluman seperti di kawasan saya ada satu sekolah bilik air tak boleh dipakai.
Soalannya Yang Berhormat?
Jadi isunya, saya harap selepas bajet RM9 juta ini ada kerja-kerja penambahbaikan itu disegerakan di semua kawasan dan juga di semua sekolah agama yang ada, di seluruh negeri Johor kerana kita tahu sekolah agama kita berumur lebih 100 tahun tetapi masalahnya kita tidak dapat selesaikan sehingga sekarang. Sekian, terima kasih.
Tak ada soalan. So, saya tamatkan setakat itu, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.24 pagi.
Penolong Jurutulis : PERBAHASAN ATAS RUNDINGAN BACAAN KALI YANG KEDUA BAGI RANG UNDANG-UNDANG ENAKMEN PERBEKALAN (2021) TAHUN 2020.
Bismillahirahmannirrahim. Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112 (2) maka perbahasan atas rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana yang tersebut dalam rang undang-undang ini. Dimaklumkan bahawa tempoh perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah selama 4 hari iaitu mulai hari ini 29 November hingga 2 Disember 2020. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi untuk perbahasan pertama dan kedua. Perbahasan pertama dan Ketua Pembangkang diberi masa selama 45 minit, manakala Ahli-Ahli Dewan lain diberikan masa 15 hingga 20 minit. Bagi membolehkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya mohon kerjasama agar dapat mematuhi masa yang diberikan. Perbahasan atas rundingan bagi bacaan kali kedua Enakmen Perbekalan 2021 tahun 2020 dimulakan sekarang. Yang Berhormat Sri Medan, dijemput.
Bismillahirahmannirahim. (Bacaan doa). Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillahlah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT di mana dengan limpah dan izin-Nya dapat saya bersama-sama dalam perbahasan Belanjawan 2021 bagi negeri Johor Darul Ta’zim. Pertama-tamanya, saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Bajet 2021 pada 26 November 2020 yang lalu. Keduanya Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada rakan-rakan di sebelah sana yang juga turut mendapat limpahan dalam pengumuman tempoh hari. Tahniah sekali lagi, jangan lupa belanja kami di pihak kerajaan. Dan ketiganya, setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat negeri Johor tanpa mengira latar belakang, tanpa mengira golongan, tanpa mengira ideologi politik, sama ada anda peniaga besar atau kecil, sama ada anda kurang berkemampuan atau sederhana, anda pengusaha bas, teksi atau pun anda seorang belia yang minat bersukan, anda diberi hak yang sama sebagai penerima dalam belanjawan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, suasana yang kita lalui pada hari ini cukup berbeza, berbeza dari segi perjalanan hidup setiap rakyat negeri Johor. Jika dahulu kita bebas untuk menjalani kehidupan kita dengan ekonomi yang pesat membangun. Tidak terfikir di minda kita hari ini kita akan berhadapan dengan wabak COVID-19, wabak penyakit yang cukup berisiko tinggi dan boleh membunuh jutaan manusia di seluruh dunia. Di kalangan kita ada
yang telah kehilangan mata pencarian, dan ada yang akan hilang punca rezeki dan yang menjadi lebih tragis ada yang telah hilang ahli keluarga mereka. Bagi mereka yang selalu ke rumah ibadat, terpaksa menghentikan aktiviti mereka. Bagi mereka yang aktif bersukan, terpaksa menimbang bola dengan anak-anak dan cucu mereka. Manakala mereka yang terlebih kreatif, mereka ada yang bertik tok, Yang Berhormat Speaker dengan adik beradik atau saudara terdekat. Dan Yang Berhormat Tuan Speaker, alhamdulillahlah kepada mereka yang suka sangat berhibur sebelum ini telah mula kembali kepada ajaran agama yang sebenar, kembali kepada fitrah yang sebenar sebagai seorang insan yang cukup kerdil di sisi Tuhan. Hari ini, Allah yang maha berkuasa menghantar sekecil-kecil tentera virus kepada kita semua. Kita tak nampak pun melalui mata kasar kita. Dan hari ini Allah SWT telah memberi ujian kepada kita semua. Jika hari ini kita masih tak sedar, dan kita terus lalai dengan apa yang telah kita lalui, kita masih terus bercakaran, kita masih terus menuding jari antara satu sama lain. Percayalah, Allah SWT maha berkuasa untuk menurunkan lebih besar bala kepada kita semua, yang tak mampu untuk kita sebagai seorang manusia untuk menangkisnya, nauzubillah, semoga dijauhkan. Cukup-cukup saudara-saudaraku semua, apa yang telah kita lakukan selama ini. Saya ingin mengingatkan diri saya dan juga rakan-rakan, siapa pun kita semua, sama ada anda Islam, anda Buddha, anda Hindu, hentikan perbalahan yang sangat sia-sia selama ini. Mari kita sama-sama mengorak langkah membina negeri Johor yang lebih maju. Kita sama-sama berganding bahu membina semula kehidupan rakyat yang sedang kesusahan di luar sana. Bantulah mereka, untuk mendepani masa hadapan yang lebih baik. Mereka yang sentiasa bersemangat untuk berjuang, mereka yang sentiasa berdaya tahan demi kemakmuran.
Yang Berhormat Tuan Speaker, apa yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kita boleh melihat dan menilai sendiri. Yang Amat Berhormat Menteri Besar amat memahami dan merasai apa yang kita dan rakyat lalui pada hari ini. Yang Berhormat Menteri Besar, telah sedaya upaya berusaha menjadi seorang pemimpin, seorang bapa dan seorang pembela kepada kita semua. Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat mengetepikan segala kepentingan politik, membuang setiap ego untuk menyantuni semua lapisan pemimpin dan juga masyarakat. Secara jujurnya, dalam tempoh selama hampir 10 bulan, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang Menteri Besar dengan cetusan idea-idea baru dan mengamalkan corak kepimpinan yang cukup sederhana, sentiasa berfikir dan bekerja, tidak pernah sesekali menafikan atau menidakkan setiap perancangan baik yang telah dilakukan pemimpin yang terdahulu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berbalik kepada perkara yang ingin saya bahaskan pada hari ini, umum semua telah mengetahui Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan beberapa langkah baharu untuk memastikan nasib rakyat terus mendapat pembelaan lebih-lebih lagi di kala kita menghadapi suasana yang cukup luar biasa dan mencabar iaitu COVID-19. Bagi diri saya secara peribadi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar bukan sahaja membela nasib rakyat, tetapi mengemudi negeri Johor ke arah keadaan fizikal yang sihat pada pasca COVID-19. Oleh itu Yang Berhormat Speaker, saya ingin mengambil peluang dan kesempatan yang ada ini untuk membahaskan mengenai dua perkara yang saya lihat sebagai asas kepada Belanjawan Johor 2021.
1. Adalah tentang dasar-dasar perlindungan sosial kepada rakyat Johor. 2. Adalah cara kita untuk mendapat hasil baharu kepada negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bila saya menyebut tentang perkara pertama iaitu dasar perlindungan sosial, saya ingin mengajak rakan-rakan Ahli Yang Berhormat untuk kita sama-sama memahami kesemua inisiatif yang telah diumumkan berpaksikan kepada soal kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat Johor. Alhamdulillah, kita boleh lihat sama-sama, sememangnya ia cukup berfokus dan cukup bersasar. Saya amat yakin ini merupakan permulaan kepada program-program perlindungan yang komprehensif dan ianya cukup
menyeluruh untuk kita semua mendepani kehidupan di masa hadapan. Kita perlu akui sebelum ini negeri Johor belum pernah melaksanakan polisi dan dasar seperti ini. Atas kesedaran inilah, maka wujud beberapa agenda di dalam Bajet 2021 seperti yang disebut Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari iaitu antaranya, Johor Berkebajikan dan Johor Prihatin. Apa itu Johor Berkebajikan? Adakah bila kita menyebut Johor Berkebajikan ianya sekadar bantuan one-off. Tidak mustahil negeri-negeri lain pun akan memberi bantuan one-off yang sama. Dan apa yang istimewanya bantuan one-off Johor pada Belanjawan kali ini? Apa yang istimewa bantuan one-off di Johor? Bantuan ini yang pastinya akan ditambah baik. Kerajaan negeri Johor mengakui akan keperluan untuk memperbaharui dasar dan polisi bantuan sosial ini. Dan bagaimana ia dapat disampaikan kepada lebih ramai penerima yang benar-benar memerlukan. Kerana apa Yang Berhormat Tuan Speaker? Kerana jumlah golongan sasar yang miskin, yang sederhana miskin atau yang terlalu miskin itu berubah-ubah mengikut masa. Tak mungkin cerita mereka adalah sama. Kalau 5 tahun yang dulu akan sama dengan apa yang berlaku pada hari ini. Bukan suatu yang mustahil terdapat juga golongan yang mungkin tertinggal ataupun tidak disantuni berdasarkan keadaan semasa. Bayangkan mereka yang dulunya M40 tetapi hari ini mereka telah menjadi B40. Lebih teruk lagi ada juga yang telah tergolong dalam golongan yang muflis. Semua ini adalah gara-gara wabak COVID-19. Secara jujurnya, kerajaan telah belajar dan akan sentiasa belajar terutama daripada pengalaman Bantuan Tunai Ihsan Johor seperti jawapan Yang Amat Berhormat sebentar tadi ketika soalan lisan, yang mana kelemahan mungkin terdapat ketika kita mengadakan program Bantuan Ihsan Johor. Hanya disebabkan oleh kekurangan data dan kekangan sumber manusia, walaupun program ini berjaya dalam menyalurkan kepada puluhan ribu penerima, malangnya masih ada juga golongan yang tertinggal terutamanya kepada M40 yang juga terkesan dek penangan COVID-19.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tidak ada kerajaan yang akan berani mengakui kelemahan seperti mana yang dilakukan di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar pada hari ini. Kerana kelemahan itulah kita tidak pernah sesekali lari dari tanggungjawab untuk menjadi kerajaan yang lebih baik pada setiap masa, semuanya untuk kebaikan rakyat. Inilah antara sebab kenapa kita memerlukan pusat simpanan data yang lebih menyeluruh, yang lengkap tanpa mengharapkan ihsan daripada orang lain. Begitu pentingnya perhatian diberikan ke atas idea YAB Menteri Besar yang mahu meletakkan Johor Digital sebagai agenda kerajaan pada masa ini, ia tak lain adalah bertujuan untuk pengumpulan bagi keperluan data sedia ada melalui pelbagai peringkat agensi kerajaan negeri dengan kerjasama daripada kerajaan persekutuan. Hari ini dunia cukup berbeza Yang Berhormat Tuan Speaker, apa pun agenda yang ingin kita laksanakan, apa yang ingin kita lakukan pasti ianya tidak boleh mengetepikan atau memperkecilkan peranan digital dalam kehidupan kita seharian. Dunia hari ini bukan yang besar mengalahkan yang kecil tetapi yang cepat akan mengalahkan yang lambat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, keduanya yang perlu saya huraikan berkenaan dengan bantuan one-off ini, bantuan one-off adalah permulaan kepada langkah pertama program pemulihan ekonomi dan perlindungan sosial yang lebih meluas. Ia juga boleh diistilahkan sebagai pemangkin, caranya begini Yang Berhormat Tuan Speaker, negeri Johor juga bersedia untuk bereksperimen dengan dasar-dasar ekonomi seperti contoh Universal Basic Incomes (UBI) yang telah diamalkan oleh negara-negara maju. Sebab itu kita berikan RM300.00 selama dua bulan kepada penerima e-Kasih seramai 21,000 lebih jumlahnya. Kita mahu melihat bagaimana pemberian dan pengupayaan kewangan tanpa syarat ini, mereka boleh membelanjakan untuk perkara-perkara asas dan menjana semula ekonomi. Dan jika mereka gunakan bantuan one-off ini untuk berbelanja di kedai-kedai runcit maka nilai sebanyak RM12.6 juta akan dapat merancakkan semula ekonomi di negeri Johor. Kita juga sedar dalam konteks ekonomi semasa, keluarga yang mempunyai anak sekolah juga turut terkesan, nak beli baju sekolah, peralatan sekolah dan yuran-yuran sekolah yang perlu, sebab itu buat pertama kalinya kita memberi one-off RM100.00 kepada setiap orang anak di sekolah rendah atau menengah dari keluarga berpendapatan RM3,000.00 hingga
RM7,000.00. Contoh, Yang Berhormat Tuan Speaker, kalau satu keluarga yang layak ada 5 orang anak di sekolah menengah atau sekolah rendah maka dia dapat RM500.00. Secara tak langsung ia juga dapat meringankan golongan yang berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya melihat setiap inisiatif ini amat baik, di kala kita hanya memberi penumpuan kepada B40, kita juga secara tidak langsung telah dapat meringankan beban M40 yang pada ketika ini juga sedang dihimpit kesusahan dan juga kekangan kewangan. Biarlah keperluan pembelajaran untuk anak mereka tidak terjejas. Biar pun emak dan ayah dipotong gaji atau telah diberhentikan kerja tetapi bantuan ini dapatlah membela nasib anak-anak yang masih belajar. Saya amat bersetuju bila mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar pernah mengakui dan tidak menafikan bahawa lebih ramai rakyat Johor yang bakal atau jatuh ke lembah kemiskinan. Mereka ini juga perlu dibantu dan diberi peluang. Inilah masanya kita bersama-sama dengan mereka. Kerajaan membantu di kala perlu dan kerajaan menyediakan peluang di kala mereka bangkit semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bila kita selalu menyebut B40 atau M40 mana mungkin kerajaan akan terus melupakan usahawan-usahawan kecil dan sederhana. Sebab itu, di bawah Johor Niaga juga, kerajaan bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk mewujudkan dana pinjaman khusus kepada PKS. Manakala di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula, kerajaan telah memberikan RM6 juta kepada institusi ini untuk membantu lebih banyak usahawan mikro untuk memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada hari Khamis yang lalu, yang dapat kita kongsi bersama-sama kita semua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengutarakan bahawa insiden kemiskinan iaitu indeks untuk mengukur kemiskinan negeri Johor akan meningkat daripada 6% hingga 8% pada tahun 2020. Kita boleh membayangkan, kalau pandemik COVID-19 ini tidak reda pada tahun 2021, lebih ramai yang akan terkesan dan terjerumus dalam kemiskinan. Adakah kerajaan akan memeluk tubuh? Sudah tentu tidak. Kerajaan negeri pasti akan bertindak. Jadi, melalui Belanjawan 2021 ini, langkah telah pun bermula dan jika ada keperluan, Insya-Allah kita doa sama-sama, saya amat yakin, setiap inisiatif di bawah Johor Prihatin dan Johor Berkebajikan akan dilanjutkan lagi mengikut keperluan semasa.
Tugas kita hanya satu, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, berusahalah sama-sama untuk kita memastikan kerajaan kita ini stabil dan secara tidak langsung ekonomi kita akan kukuh kembali. Inilah yang menjadi tanggungjawab kepada kita semua. Pokoknya Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti kata Yang Amat Berhormat Menteri Besar do not let the pandemic go to waste. Setiap dugaan dan rintangan ini pasti ada hikmahnya. Dalam kesusahan kita pasti akan ada kesenangan. Jangan cepat putus asa, apa yang kita lalui, apa yang kita tempuhi hari ini, adalah satu krisis. Krisis kemanusiaan berskala besar melalui pandemik, hikmah yang tersembunyi yang dapat memberi peluang kepada kita untuk mereformasi struktur yang sepatutnya menjadi asas kepada ekonomi negeri kita. Yang paling penting, ianya mestilah berpandukan kepada data yang tepat. Suka saya katakan, kerajaan negeri hari ini sedang menuju ke arah itu. Kerajaan tidak akan menggunakan ayat-ayat manis atau sekadar slogan retorik untuk kepentingan politik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara kedua yang perlu kita semua beri perhatian, adalah meneroka dan merangsang sumber ekonomi baharu untuk negeri Johor. Langkah-langkah untuk menstruktur semula ekonomi negeri, ada disebutkan dalam impetus ekonomi baharu. Satu perkataan yang saya sendiri pun baru menyebutnya berulang-ulang Yang Berhormat Speaker, saya takut tersilap...
Kira oklah. Boleh sebut itu kira oklah.
Mungkin di kalangan kawan-kawan saya pun sama ada daripada pembangkang termasuk kerajaan. Impetus dimaksudkannya dia force ataupun satu tujahan untuk membuat satu-satu perkara itu bergerak. Tadi, saya sempat google translate dia kata dorongan, lebih kuranglah. Yang penting sekali dia berbentuk satu tujahan. Kalau benda tak gerak, kita tepuk punggung dia suruh dia gerak. Kalau kita nak samakan dengan apa yang ada, kaktus itu kalau tercucuk kat kita, baru kita boleh ingat terus melompat saya ingat, sama. Jadi, impetus ini, apa dia sebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tempoh hari, ia bermaksud adalah force atau satu tujahan untuk membuat satu-satu perkara itu bergerak. Ini bermakna, dalam inti pati ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari, antara usul Yang Amat Berhormat Menteri Besar adalah menujah arus atau dengan kata lain, ia tidak mahu membiarkan apa yang berlaku di sekeliling kita ini, hari ini kita berada dalam apa yang saya kata wabak COVID-19 yang boleh merencatkan kita semua. Jadi, kita mesti bergerak ke hadapan.
Yang Amat Berhormat secara dasarnya telah memperkenalkan sumber ekonomi yang baharu. Satu bentuk tujahan untuk memberi hasil pendapatan baharu kepada negeri Johor yang mungkin ada orang berkata, ini biasa, dulu pun dah buat, tetapi apa Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah cadangkan pada belanjawan bajet tempoh hari adalah perkara yang baharu dengan menggunakan kaedah yang baharu. Apa yang boleh saya katakan di sini Yang Berhormat Tuan Speaker..
Perkara lama tetapi dengan pendekatan yang baharu.
Terima kasih kerana bantu saya. Sepatutnya saya nombor 2, jadi saya tak jangka hari ini kena yang pertama dan masa yang diberikan biasa 15 minit, tetapi hari ini 45 minit.
Tapi, Yang Berhormat dulu nampak macam pejuang sekarang ini jadi macam negarawan.
Ya, ada bezanya Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ini bercakap dengan dua baju. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dan juga sebagai Setiausaha Politik. Jika pembangkang, saya lahir dia punya watak. Dah hari ini sebagai kerajaan, saya terpaksa berubah watak saya menjadi lebih menyokong kepada usaha-usaha kerajaan.
Selepas COVID ini Yang Berhormat berubahlah.
Itu no comment lah. Jap, saya pun di mana tadi. Saya mengharapkan rakan-rakan saya di pihak pembangkang, termasuk rakan-rakan saya di pihak kerajaan, kita tunggu sama-sama apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. Setiap apa yang kerajaan ingin lakukan, yakinlah ianya adalah untuk kebaikan semua pihak. Sekiranya, semua memberi kerjasama yang baik tanpa mengira pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang.
Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, mohon izin saya ingin mengulang kembali apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari, fasal tiga impetus, semakin lancar saya ingat saya sebut benda ini atau tujahan atau pencetus kepada ekonomi baharu seperti berikut :
1. Agenda Bekalan Makanan Negeri Johor atau Johor Food Security Agenda.
2. Agenda Johor Digital.
3. Penubuhan JETCO atau Johor Economy Trade and Culture Office.
Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, sebahagiannya pun telah berjalan dan sebahagian pula bakal dilancarkan. Contohnya, yang seperti saya sebut tadi, JETCO, Johor Economic Tourism and Culture Office di Singapura bakal dilancarkan pada tahun hadapan. Insya-Allah.
Mengapa tiga tujahan ekonomi baharu ini perlu diwujudkan? Saban hari, kita akui Yang Amat Menteri Besar Johor berhadapan dengan masalah kekurangan hasil baharu. Pada masa yang sama juga, perbelanjaan kita pada setiap tahun semakin bertambah. Dan, kita perlu berani berubah untuk kelangsungan negeri Johor dan juga rakyat negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman semua, sebelum ini kita hanya mengharapkan hasil yang tinggi dari sektor hartanah dan juga cukai tanah. Maka, atas sebab ini lah kerajaan negeri perlu kembali kepada asas iaitu sektor pertanian. Sektor yang perlu kita gilap potensinya. Sektor yang sebenarnya tidak asing kepada sebahagian besar rakyat negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, melihat kepada potensi sektor ini, meskipun dalam keadaan pandemik yang sedang melanda, kita semua tetap perlukan makanan. Saya perlu makanan, Tuan Speaker pun perlu makanan. Jadi di sini, lebih-lebih lagi dengan hasil dapatan kita dimaklumkan jumlah eksport makanan Johor ke Singapura sahaja berjumlah RM8.16 bilion setahun. Adakah rakyat Johor hanya ingin duduk sebagai pemerhati? Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat Johor sendiri merebut peluang yang ada ini. Gerakkan segera misi kita bermula pada hari ini. Kita rebut peluang sama-sama. Peluang sentiasa terbuka luas untuk semua orang, orang kampung, orang-orang pencen yang berada di pekan-pekan dan juga yang berada di bandar-bandar. Hanya kita juga yang mampu mengubah nasib kita sendiri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan akui ramai orang kampung yang bergantung harap pada sektor ini. Ada di kalangan mereka ada produk dan mereka juga ada tanah. Ada juga yang ada tanah tetapi tiada modal. Dan bila ada modal, mereka hanya tanam sawit. Dalam pemikiran mereka hanya sawit saja yang boleh beri keuntungan. Mereka tidak pernah didedahkan dengan potensi sebenar sektor pertanian di negeri Johor. Kerajaan di bawah EXCO Pertanian bertanggungjawab penuh untuk membetulkan tanggapan ini Yang Berhormat Tuan Speaker.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan juga akui ada pekebun-pekebun kecil yang telah mengusahakan tanah mereka, tetapi nasib mereka tidak dibela. Bila mereka menjual sayur, cili, pisang atau ubi kayu, harga tidak setimpal dengan harga pasaran. Semuanya kena ikut musim ataupun ikut permintaan. Bilalah agaknya pekebun kecil ini akan mulai merasa nikmat sebagai golongan yang berpendapatan tinggi? Kerajaan tidak akan membenarkan perkara seperti ini terus berlaku. Ia perlu diperbaiki melalui perancangan dan pelaksanaan secara lebih sistematik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya dapat membayangkan jika kerajaan negeri boleh mencari dan menjamin permintaan terhadap produk pertanian ataupun agro makanan kita, harga pun tetap, kualiti terjaga, insya-Allah kita akan menjadi nombor satu di dalam negara. Inilah peluang keemasan untuk rakyat negeri Johor. Inilah sebenarnya Yang Berhormat Tuan Speaker idea asas untuk agenda jaminan bekalan makanan Johor pada akhirnya diharapkan semua petani kecil dan nelayan kampung juga akan mendapat tempias. Agenda kerajaan bukan satu omongan kosong. Buktinya di bawah agenda Johor Tani, kalau semua perasaan tempoh hari ketika pembentangan bajet, kerajaan telah memperuntukkan RM51 juta melalui pelbagai agensi persekutuan mahupun negeri. Alhamdulillah. Jadi kita gunalah peluang yang ada ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, ini untuk penutup. Ada orang bercakap kenapalah kita tak pakai duit rizab kerajaan negeri untuk bagi bantuan terus kepada rakyat? Ada yang suka kalau Yang Amat Berhormat Menteri Besar jawab boleh. Memang boleh, tapi kalau pandemik ini berlarutan sampai 3 tahun, macam mana? Kerajaan kena perlu sentiasa berfikir kerana ini adalah kepentingan rakyat. Walaupun kita dapat temui vaksin sekalipun, ekonomi negeri juga memerlukan sedikit masa untuk mencatatkan pertumbuhan sama seperti sebelum berlakunya COVID-19. Inilah yang selalu dimaksudkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Pengurusan atau dasar fiskal yang berhemah, rakyat dapat merasai walaupun tak banyak. Kita semua bermula dari sedikit untuk mendapat yang banyak, yang paling penting kerajaan telah memberi komitmen untuk terus membantu rakyat. Kerajaan konsisten untuk membantu rakyat dan sentiasa memberi peluang yang banyak untuk rakyat memajukan diri. Kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawab.
Yang Berhormat Tuan Speaker, belanjawan 2021 ini adalah simple economy atau ekonomi mudah. Kita nak belanja duit dan kita nak dapatkan hasil. Di antara belanja duit dan dapatkan hasil adalah keperluan dan kehendak rakyat. Kita perlu mengimbangi semua ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mudah kata, belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah memberikan gambaran kepada kedua-dua perkara ini. Macam mana dan di mana nak belanjakan wang dan bagaimana untuk mendapatkan hasil baru? Oleh itu, sebagai seorang manusia, saya fikir sedikit sebanyak ianya telah dapat menyenangkan hati rakyat di negeri Johor. Yakinlah, kerajaan mana pun tidak akan membiarkan rakyatnya dalam kesusahan. Kita doa sama-sama agar wabak ini jauh daripada kita semua dan juga negara kita. Kita bina semula negeri. Kita bina semula nagara yang kita cintai bersama-sama. Kita semua tidak sempurna Yang Berhormat Tuan Speaker. Kita adalah manusia biasa dan juga kita adalah pemimpin biasa. Kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
Saya menyokong pembentangan Belanjawan 2021 yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan tema “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya menyokong.
Terima kasih kepada Seri Medan yang telah menyampaikan ucapannya. Masa yang digunakan 30 minit ya. Dulu masa pembangkang, tak cukup masa. Sekarang terlebih masa 15 minit. Ok. Seterusnya saya persilakan Parit Yaani, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan doa). Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, rakan-rakan yang berada di sebelah sana dan yang berada di sebelah sini. Pertamanya, saya Parit Yaani ingin terlebih dahulu sebagai Bangsa Johor, rakyat Johor, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Hari Ulang tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah.
Tema yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat, “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Saya ingin membawa kepada hadirin atau pun pada semua Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, kisah bagaimana Nabi Yusuf AS. yang dinyatakan di dalam Surah Yusuf pada ayat yang ke 43 yang bermaksud, Pada suatu hari, Raja Mesir berkata “Sesungguhnya aku mimpi melihat 7 ekor lembu yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus, dan aku melihat 7 tangkai biji-bijian yang hijau dan 7 tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini kalau kamu orang yang pandai mentafsirkan mimpi”.
Tuan Speaker yang dikasihi sekalian, ditakdirkan oleh Allah SWT, seluruh dunia pada hari ini dilanda satu wabak hingga menyebabkan manusia duduk di rumah. Tidak keluar, kalau keluar pun atas unsur-unsur yang berkepentingan. Jadi dalam hal ini, Parit Yaani ingin menyampaikan ucapan berkaitan dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor. Pertamanya, Parit Yaani mengucapkan tahniah dan syabas pada kerajaan yang telah meluluskan beberapa inisiatif untuk mengatasi ketidaktentuan ekonomi rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19 di negeri Johor. Penglibatan Majlis Agama Islam dan Pihak Berkuasa Tempatan sangat dialu-alukan. Majlis Agama Islam telah menyumbang RM9 juta lebih dan melebihi dari peruntukan asal RM8 juta. Dengan 14 inisiatif kepada lebih 64,000 penerima. Parit Yaani ingin mendapatkan data berapa bilangan keluarga anak yatim dalam masyarakat Islam khususnya mengikut daerah yang menerima bantuan? Dan apakah bentuk bantuan yang diberikan dalam suasana keluarga anak yatim yang mungkin sama ada ibu atau pun ayah yang telah tiada untuk menguruskan urusan ekonomi mereka? Manakala, PBT juga menyumbang melebihi dari peruntukan asal RM18 juta kepada RM20 juta melalui 17 inisiatif dengan sasaran penerima seramai 78,000 penerima. Parit Yaani ingin mendapatkan bilangan penerima mengikut kaum bagi setiap daerah dalam negeri Johor. Kita sedia maklum di negeri Johor, kaum utamanya, Melayu, Cina dan India dan saya mengharapkan dalam Dewan yang mulia ini, dapat pecahan-pecahan yang akan dikemukakan sebagai makluman kepada rakyat keseluruhannya.
Terdapat peruntukan dari kerajaan negeri Johor yang tidak dibelanjakan langsung, iaitu Modal Insan, inisiatif bilangan 20. Perlaksanaan kursus jangka pendek bagi pekerja yang hilang pekerjaan berjumlah RM3 juta dengan sasaran 1,000 peserta. Soalannya, mengapakah inisiatif ini tidak dilaksanakan? Sedangkan kerajaan sedia maklum begitu ramai rakyat Johor yang kehilangan pekerjaan kerana penutupan SME, kantin sekolah, hotel bahkan hotel di bawah JCorp sendiri pun ditutup, pemandu bas persiaran, pemandu bas sekolah dan ramai lagi yang terlibat kerana masalah seperti mana yang kita sedia maklum.
Mengenai inisiatif bilangan 21, iaitu penyampaian bantuan berjumlah RM500.00 kepada nelayan negeri Johor dengan sasaran 4,152 berjumlah RM2 juta lebih, Parit Yaani ingin mendapat penjelasan, mengapa inisiatif ini tidak dilaksanakan? Sedangkan sasaran telah pun dikenal pasti dan peruntukan telah ada. Sewajarnya sebelum musim tengkujuh yang bermula sekarang, semua nelayan telah memperolehi hak mereka yang telah diluluskan oleh kerajaan. Peruntukan yang dibelanjakan di bawah 25%, termasuk untuk pelancongan termasuk inisiatif 16 yang berjumlah RM7 juta dan inisiatif 17 yang berjumlah RM6.5 juta yang masih belum digunakan. Parit Yaani ingin mencadangkan supaya peruntukan ini disalurkan kepada inisiatif bilangan 12 supaya lebih ramai peserta yang hilang pekerjaan dapat mengikuti kursus jangka pendek yang boleh mengubah kehidupan masa depan mereka. Peruntukan dibelanjakan di bawah 50% ialah pembinaan inisiatif 19 yang berjumlah RM104 juta bagi digunakan sebanyak RM43 juta lebih. Mengapakah keadaan ini berlaku? Parit Yaani dalam masa yang sama, melihat kepada ekonomi kerajaan negeri yang begitu terkesan kerana sempadan Johor-Singapura yang belum dibuka. Parit Yaani sekali lagi menegaskan supaya kerajaan negeri dapat memikirkan satu mekanisme terbaik dalam membenarkan sempadan ini dibuka semula sama ada melalui deklarasi wajib yang perlu disahkan sebelum memasuki sempadan. Lebih-lebih lagi apabila negara Singapura baru-baru ini mencatatkan kes yang sangat rendah malahan tiada transmisi tempatan sejak beberapa minggu lalu. Ini sekali gus dapat merancakkan ekonomi Johor. Kita boleh melihat bagaimana Pasar Larkin dikeluarkan satu video untuk tatapan seluruh dunia sebelum COVID dan sewaktu sekarang ini. Tidak ada orang yang datang, kosong dan perniagaan jatuh begitu merudum.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkaitan dengan isu pendidikan. Parit Yaani ingin merakamkan kerisauan yang amat mendalam mengenai lebih 50,000 pelajar calon SPM dan 12,000 pelajar calon STPM yang akan menduduki peperiksaan pada tahun hadapan, bulan
Mac 2021 yang sepatutnya dijalankan waktu sekarang. Di mana kaedah pengajaran dan pembelajaran sepanjang COVID-19 di panggil, PDPR. PDP daripada rumah, yang mana menggunakan kaedah atas talian atau online seperti Google Meet, Google Classroom, Telegram dan Whatsapp. Kaedah kedua, ialah offline, iaitu menggunakan modul latihan atau worksheet, guru akan menyediakan bahan di sekolah, ibu bapa akan mengambilnya bagi pihak pelajar tersebut melalui pegawai keselamatan. Parit Yaani ingin mengajak seluruh Ahli Dewan untuk cuba mendalami apakah kekangan yang dihadapi oleh guru, pelajar khasnya calon-calon SPM dan STPM? Dan, adakah kita sedar kekangan-kekangan itu? Antara kekangan atau kaedah yang dihadapi tidak kira guru atau pelajar adalah seperti berikut:
1. Ada pelajar yang tidak menghadiri kelas tanpa alasan yang kukuh.
2. Ada pelajar yang balik kampung ataupun balik kawasan di mana tiada capaian
Internet.
3. Pelajar tidak fokus, dan guru sukar untuk memantau kerana mereka tidak
bersemuka. Apabila pelajar switched off kamera dan menyepi, guru tidak pasti
apabila pelajar benar-benar mengikuti kelas atau tidak.
Saya, Parit Yaani bertemu dengan beberapa penjaga yang menyatakan kebimbangan dengan ungkapan yang sangat menyedihkan. Beliau menyatakan, “Saya ini YB, masa belajar, depan cikgu. Cikgu ada tertunggu di depan. Tetapi saya pun susah nak lulus”. Inikan pula anak-anak saya yang cikgu pun tiada kat depan. Saya pun tidak tahu dia belajar ke tidak, lagi susah nak lulus”. Pelajar tidak memiliki kemudahan komunikasi atau berkongsi dengan keluarganya. Ada guru menceritakan, apabila beliau menghubungi nombor telefon yang diberi nombor oleh pelajar, muncul video berkenaan bapanya yang sedang membawa lori dalam kebun kelapa sawit. Ini cerita benar tuan-tuan. Ini cerita benar eh, rakan-rakan Yang Berhormat sekalian.
Tentu sekali, masalah utama yang dihadapi tidak kira pelajar atau guru sememangnya kekurangan data untuk capaian Internet atau pun langsung tidak mendapat akses atau pun tiada peralatan. Parit Yaani dengan ini mencadangkan supaya langkah jangka pendek supaya kerajaan mengenal pasti pelajar yang tidak mempunyai alat komunikasi seperti komputer atau telefon mudah alih supaya mereka boleh dibekalkan kemudahan berkenaan.
Pihak kerajaan perlu memberi membantu kos data pelajar secara bersasar bagi yang tidak mampu membayar data untuk capaian Internet. Sedangkan peperiksaan bulan Mac, tidak naik sekolah dah beberapa bulan tahun depan kalau naik pun, kita sedia maklum dia dah tidak masuk kelas, dia dah duduk kat rumah. Mungkin ada yang pergi potong kelapa sawit, ada yang pergi berniaga burger dan sebagainya. Jadi, apa keadaan keputusan pelajar-pelajar kita, dalam calon-calon eh yang akan mengambil peperiksaan SPM dan STPM tahun ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Yaani ingin mengungkapkan terima kasih kerana masih mengekalkan pemberian tunai bakal mahasiswa sebagai persediaan memasuki IPTA dan IPTS. Jika di zaman PH dahulu, dikenali Insentif Harapan Siswa. Apa pun nama yang kerajaan sekarang letak, Parit Yaani berharap agar perkara ini perlu diteruskan untuk membantu bakal mahasiswa melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS.
Perkara terakhir dalam isu pendidikan yang Parit Yaani ingin ketengahkan ialah Parit Yaani amat berasa dukacita berkenaan tindakan kerajaan memotong pinjaman pembelajaran. Pada pembentangan belanjawan tahun lalu zaman PH, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM20 juta. Sementara pada belanjawan kali ini, cuma RM14.7 juta. Ini adalah pengurangan sebanyak RM5.3 juta. Saya mengharapkan akan disemak semula
untuk bantuan kepada anak-anak atau pun pelajar-pelajar khususnya B40 yang dapat melanjutkan pelajaran di sana. Justeru, Parit Yaani menggesa kerajaan akan mempertimbangkan dan melihat semula peruntukan pinjaman pelajaran ini, bagi menjamin anak-anak Johor yang akan memasuki IPTA dan IPTS tidak tercicir kerana masalah ketidakmampuan atau tidak mempunyai pinjaman.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor, Johor Food Security Agenda. Pertanian adalah sektor penting sebagai pembekal dan penjamin keselamatan makanan. Peluang pekerjaan, pendapatan eksport dan penjana ekonomi negara. Selain itu, ia juga satu sektor utama sosioekonomi rakyat Johor apabila menyumbang 2.5% nilai KDNK negara pada tahun 2018. Antara cabaran atau masalah utama sektor ini adalah kos operasi yang tinggi, terutama kos baja dan sub sektor tanaman, dan kos makanan haiwan dalam sub sektor penternakan. Selain itu, kualiti produk dan produktivitinya juga perlu dipertingkatkan melalui penyelidikan dan inovasi serta penggunaan teknologi moden. Keluasan tanah pertanian di Johor dijangka menurun daripada 66,342 hektar pada tahun 2015 kepada 60,746 hektar pada tahun 2020. Kesan keperluan pembangunan dan kewujudan kawasan pertanian yang tidak lagi sesuai berikutan sering dilanda banjir. Turut menyumbang kepada penularan ini ialah faktor kebanyakan kawasan tanaman selingan yang diintegrasi dengan tanaman komoditi tidak lagi ekonomik untuk terus dimajukan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan hasil pengeluaran makanan dapat terus dipertingkat, aktiviti tanaman perlu dilaksana menggunakan kaedah baru dan teknologi lebih moden. Justeru penggunaan teknologi terkini secara minimum dapat dalam aktiviti pertanian dan penternakan di Johor memberi kesan kepada pengeluaran hasil pertanian dan penternakan negeri. Pada masa yang sama, sektor pertanian juga berhadapan masalah pembangunan rantaian nilai sektor pertanian negara termasuk industri agro makanan yang kurang lengkap dan tidak menyeluruh. Antara faktor penyebabnya ialah pengeluaran yang tidak berteraskan pasaran. Penggunaan matlamat pasaran kurang meluas, amalan penentuan harga amatlah tidak telus, pengurusan produk yakni penggredan, pembungkusan dan pelabelan kurang sistematik, infrastruktur prasarana tidak lengkap, saluran pasaran pelbagai lapisan dan penjenamaan kurang berkesan. Di dalam belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis lepas, pihak kerajaan didapati gagal untuk mengemukakan jawapan dan cadangan bagi menangani isu-si penting sektor agro makanan seperti berikut:-
Pertama, Pendapatan yang rendah dan peluang pekerjaan yang kurang menarik. Kebergantungan kepada punca pendapatan tunggal merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pendapatan penduduk luar bandar yang rendah. Terutamanya dalam kalangan petani dan nelayan. Di samping itu kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan adalah berinteraksikan buruh dan bergaji rendah, menjadikan golongan belia kurang berminat.
Kedua, Infrastruktur dan kemudahan agro makanan tidak mencukupi. Kawasan luar bandar masih kekurangan dari segi ketersambungan dan liputan bekalan air dan elektrik yang masih menyeluruh. Keadaan ini telah menjejaskan pembangunan dan pengembangan aktiviti ekonomi luar bandar, terutamanya di dalam sektor pertanian sama ada dari segi pengeluaran, pemprosesan, pengedaran jualan dan pemasaran produk serta akses kepada pembiayaan dan maklumat. Gudang-gudang makanan yang lebih efektif dan efisien bagi pembekalan makanan rakyat dalam negara harus diwujudkan dan tidak melihat hanya bagi pembekalan makanan kepada negara jiran. Penyediaan perkhidmatan jalur lebar yang tidak mencukupi juga telah mengehadkan penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam kalangan usahawan tani dan usahawan pengeluaran sektor makanan. Di samping itu, kebanyakan perusahaan ini bersaiz mikro dan kecil yang mengguna pakai pekerja kurang mahir dan berteknologi konvensional. Faktor ini menyebabkan aktiviti pengeluaran makanan yang didominasi oleh luar bandar kurang berdaya saing dan kurang inovasi dan kurang kreativiti.
Ketiga, tiada sinergi dalam mekanisme pelaksanaan. Kekurangan penyelarasan dan komunikasi dalam kalangan agensi persekutuan dan agensi negeri yang terlibat dalam sektor pengeluaran makanan serta pembangunan luar bandar telah menyebabkan perpindahan program dan projek, serta mengakibatkan keciciran di dalam pelaksanaannya. Ini juga telah menjadi cabaran bagi mewujudkan sinergi kerjasama antara agensi memastikan penggunaan sumber yang optimum, pemantauan penilaian projek yang lebih berkesan dapat dilaksanakan melalui kolaborasi berterusan antara agensi yang sehingga kini masih lagi tidak dapat diatasi setelah berdekad lamanya.
Keempat, produktiviti rendah dan tiada integrasi. Kawasan luar bandar kurang mendapat faedah daripada pengembangan perbandaran disebabkan oleh hubungan yang lemah antara dua komponen urbanisasi, faktor ini telah menjejaskan pewujudan peluang pekerjaan tahap produktiviti dan pendapatan masyarakat. Selain itu kekurangan integrasi dalam aktiviti ekonomi luar bandar terutamanya di dalam sektor pengeluaran makanan telah mengehadkan peluang ekonomi dan menghalang penggunaan ekonomi secara optimum.
Faktor seperti ketiadaan kepimpinan perniagaan yang berwibawa serta kekurangan infrastruktur, sokongan logistik dan rangkaian pemasaran telah mengekang pertumbuhan ekonomi pengeluaran makanan. Untuk itu Parit Yaani berpandangan bahawa kerajaan perlu menekankan isu berkenaan kualiti dan kuantiti produk pertanian. Itu bagi pandangan adalah jauh lebih kritikal. Untuk itu, persoalan Parit Yaani ialah berapa jumlah inisiatif daripada kerajaan untuk pertanian bagi mendapatkan hasil yang berkuantiti dan berkualiti? Apa yang dimaksudkan berkuantiti itu adalah berapa banyak dan berapa berat buah kalau kita merujuk kepada kelapa sawit, buah-buahan dan sebagainya. Atau berapa banyak susunya kalau kita merujuk kepada getah atau lembu, kambing berbanding dengan kos? Berkualiti pula bermakna buahnya sedap dimakan jika merujuk buah-buahan dan daging ayam, daging lembu yang bermutu tinggi dan sebagainya berbanding dengan kos. Parit Yaani mencadangkan dan menegaskan bahawa kerajaan perlulah datang dengan satu mekanisme tuntas dalam melibatkan para pekebun kecil supaya pekebun kecil ini turut merasai dan sama-sama memacu harapan kerajaan bagi dalam konteks ekonomi pasca COVID-19 ini.
Oleh yang demikian, Parit Yaani menyarankan supaya ditubuhkan satu konsortium yang mengendalikan program penyatuan pekebun-pekebun kecil dengan jenis tanaman kontan yang bernilai tinggi dan segera mendapat hasil. Program seperti satu kampung, satu produk jenis tanaman kontan berkualiti dan berkuantiti bolehlah dijalankan. Kerajaan perlulah memberikan bimbingan nasihat, tunjuk ajar, bantuan kewangan dan bantuan pemasaran selain memberikan bantuan dari segi mengatasi ancaman dalam pertanian seperti ancaman binatang dan penyakit.
Parit Yaani juga ingin menyatakan bahawa agenda pemerkasaan halal Johor selaku hab halal utama negara harus dikemas kini dan dijalankan dengan penuh minat bagi mempertingkatkan ekonomi negeri Johor. Sehingga kini Johor masih lagi belum boleh dibanggakan sebagai sebuah negeri yang dinamik terutama sekali berkaitan dengan hab halal. Parit Yaani juga mencadangkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Pusat Pertanian Moden di Ayer Hitam mesti dipantau pelaksanaannya untuk mencapai objektif. Berapakah keluasan keseluruhan TKPM, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan berapa luas yang telah diusahakan mengikut perjanjian sewaan? Semua ini perlu diperincikan. Seterusnya apakah tindakan kerajaan kepada pengusaha-pengusaha yang tidak mematuhi perjanjian sewaan pajak seperti TKPM di beberapa tempat yang disasarkan untuk ternakan tetapi telah ditanam kelapa sawit? Sedangkan ada pengusaha yang telah berjaya di tempat sendiri dengan kawasan yang kecil ingin melabur di sana tetapi terhalang kerana kononnya kawasan ternakan telah habis diguna pakai. Parit Yaani juga difahamkan begitu juga tanaman PPM, Pertanian Moden di Ayer Hitam yang masih banyak kawasan yang dimanfaatkan. Mana Parit Yaani ingin menyarankan supaya permudahkan urusan birokrasi
penyewaan tanah kepada pengusaha yang berkemampuan dan amanah. Berikan peluang kepada seluruh segmen dalam masyarakat untuk turut menjayakan cita-cita kerajaan.
Isu nelayan, Parit Yaani juga ingin menyentuh berkenaan isu nelayan yang mengambil kesempatan dengan elaun untuk ke laut. Kerajaan perlu tegas untuk membuat pemutihan lesen nelayan yang tidak cukup tempoh ke laut. Parit Yaani percaya bahawa sekiranya kerajaan bertindak tegas dalam isu ini, kuota berkenaan dapat memberi peluang kepada anak muda yang berminat untuk ke laut dan dalam waktu yang sama kerajaan dapat memastikan peruntukan tersebut benar-benar diterima oleh mereka yang berhak menerimanya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengulas agenda Johor Digital. Parit Yaani ingin mengingatkan kerajaan supaya memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan sempurna daripada permulaan perolehan sehingga perlaksanaan dan pemantauan projek untuk memastikan pulangan pelaburan yang menguntungkan kepada kerajaan negeri. Sebagai contoh, berdasarkan Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Tahun 2018, Ketua Audit Negara telah memberi teguran mengenai projek Johor Free Wifi. Parit Yaani menegaskan bahawa tidak sepatutnya berlaku teguran sekiranya projek ini dilaksanakan dengan telus dan amanah. Parit Yaani juga ingin bertanya bahawa adakah pihak kerajaan telah menjalankan kajian keberkesanan projek Johor Wifi ini lebih-lebih lagi mengikut lokaliti. Parit Yaani menyarankan bahawa keutamaan projek ini mestilah dibangunkan di kawasan luar bandar kerana masyarakat di sana lebih memerlukannya lebih-lebih lagi dengan norma baru yang tidak dapat, tidak mesti kita akui dan perlu diterima. Parit Yaani juga ingin mendapatkan penjelasan tentang langkah-langkah kerajaan negeri untuk merangsang transformasi digital dan perkongsian data di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri supaya kesemuanya menjadi lebih kompetitif, cekap dan berkesan di dalam pembuatan keputusan dan dapat menarik lebih banyak pelabur dengan kecekapan dan integrasi maklumat selain penyediaan prasarana yang berfokus mengikut keperluan. Dunia hari ini bercerita tentang big data maka, jangan kita sebagai kerajaan yang boleh dianggap terbaik di dalam negeri, dalam Malaysia ini kita ketinggalan berkaitan dengan big data. Parit Yaani ingin menyarankan kepada kerajaan negeri agar merancang pengkomersialan, commercial data yang terkumpul sebagai data s-servis di samping pembangunan perisian dan platform yang sesuai untuk dikomersialkan sebagai platform as a service. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil kerajaan negeri selepas pandemik COVID-19 malah dapat menggalakkan pertumbuhan platform business di kalangan rakyat bangsa Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu seterusnya isu governance, Parit Yaani dalam Dewan yang mulia ini sekali lagi mencadangkan beberapa pihak seperti Menteri Besar dan barisan EXCO memotong gaji mereka sebanyak 20%. Parit Yaani sukacita mengingatkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memotong 10% walau pun ketika itu kita tidak pun menghadapi pandemik COVID-19 yang mana hasil potongan ini boleh disalurkan kepada tabung khas COVID-19 ataupun untuk membantu mangsa-mangsa bencana seperti banjir, kebakaran dan sebagainya. Parit Yaani juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan PH dalam memperkasakan pembangkang dengan menambahkan peruntukan sebanyak RM150,000.00 kepada ADUN-ADUN pembangkang. Mungkin pengalaman 22 bulan sebagai pembangkang rasa perit, jadi pembangkang. Sri Medan ya. Saya ni penggal kedua, dulu jadi pembangkang, duduk sini, lepas tu duduk sana 22 bulan. Sekarang duduk sini balik, insya-Allah lepas pilihan raya kita akan duduk belah sana semula. (Dewan bertepuk). Setelah 60 tahun Malaysia merdeka, kerajaan PH mendahului, memberi pengiktirafan kepada pembangkang.
Isu kesihatan. Parit Yaani melahirkan sedikit kegusaran apabila melibat bantuan kesihatan dalam Belanjawan 2021 ini begitu terasing. Walaupun kita melabelkan belanjawan ini sebagai Belanjawan COVID-19. Parit Yaani ingin mendapatkan pengesahan pihak kerajaan
sama ada 2 inisiatif yang baik yang dilakukan oleh Pakatan Harapan sebelum ini iaitu Kad Sihat Johor dan Skim Takaful Warga Emas telah diberhentikan atau masih diteruskan? Sekiranya diberhentikan Parit Yaani rasa amat kesal dan mengusulkan supaya kerajaan dapat kembalikan 2 inisiatif ini demi kesihatan rakyat bangsa Johor lebih-lebih lagi bantuan ini terkesan terus kepada program B40 yang amat memerlukan dengan suasana pandemik hari ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara berkaitan dengan perumahan asnaf yang dibuat di bawah Majlis Agama Islam negeri Johor. Saya ingin mengingatkan kepada mereka yang bertanggung jawab rumah adalah tempat tinggal, rumah adalah keperluan sesebuah keluarga, rumah adalah tempat keselamatan. Ramai di kalangan orang Melayu Islam yang masih menyewa, yang menumpang, yang tidak ada rumah. Parit Yaani yakin bahawa rumah asnaf yang telah dikeluarkan peruntukan oleh Majlis Agama Islam dimohon supaya dapat dibuatkan laporan di dalam Dewan yang mulia ini. Berapa banyak rumah asnaf yang telah disiapkan dari tempoh 2015 sampai 2020 mengikut daerah. Sebelum Parit Yaani berundur, Parit Yaani ingin mengemukakan beberapa permohonan atas kepentingan rakyat di DUN Parit Yaani.
Pertama, status Jalan Bindu. Kalau mengikut jadual ia akan siap April 2020. Tetapi sekarang sudah bulan November 2020. Bila dijangka siap sepenuhnya kerana jalan yang berkenaan agak sempit.
Kedua, status jalan dan traffic light ke Sekolah Agama Bindu yang dinanti-nantikan oleh murid dan ibu bapa. Parit Yaani masih ingat, apa ya, Bukit Pasir ke, ADUN Dato’ Jamal...
Bukit Kepong.
Bukit Kepong,oh ya Bukit Kepong telah pergi melawat ke tempat yang berkenaan pada waktu Bukit Kepong sebagai YAB Menteri Besar pada kala itu. Ketika membina laluan baru menghubungkan Taman Sri wangsa dengan Taman Seri Berkat kerana jambatan yang menghubungi Taman Seri Wangsa dengan Taman Puteri Jaya bahagian tepinya telah runtuh disebabkan hujan yang berterusan sejak kebelakangan ini. Dan ia adalah laluan yang Parit Yaani yakin ia adalah laluan yang paling baik untuk dibina di situ.
Keempat, status Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jaya di Parit Yaani yang masih belum siap sejak mula dibina akhir tahun 2013, buat sekolah daripada 2013 sampai 2020. Berapa tahun? Kos yang begitu banyak tetapi tak siap-siap. Di mana daripada saya jadi pembangkang jadi kerajaan jadi pembangkang balik. Pun tak siap juga. Jadi, saya harap EXCO Pendidikan tolong ambil perhatian.
Sekolah maju punya Yang Berhormat payah nak buat. Sofistikated.
Sekolah Parit Yaani. Ok. Kelima, tahap kemajuan tapak kerja tapak pelupusan sampah Bukit Payung yang sangat memilukan hati orang kampung. Bilakah kemajuan, tahap kemajuannya dan bilakah akan beroperasi.
Keenam,mohon supaya digazetkan Bukit Bindu sebagai Litar Motocross negeri Johor sebagai salah satu lokasi dalam kalender pelancongan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir kalam, Parit Yaani merakamkan penghargaan yang tidak berbelah bagi kepada barisan petugas hadapan atau front liners tidak kira staf kesihatan, doktor, anggota keselamatan, penghantar-penghantar makanan Food Panda, Grab dan sebagainya serta anggota RELA dan lain-lain. Sebelum Parit Yaani menghabiskan
ucapan, permintaan khas Parit Yaani buat petugas barisan hadapan atau front liner, COVID-19 yang tidak didendangkan tetapi amat penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat kampung khususnya sesuatu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu iaitu ketua-ketua kampung seluruh negeri Johor. Parit Yaani membawa rintihan mereka yang mana mereka telah dianiaya oleh kerajaan persekutuan apabila elaun seciput, melalui Kementerian Luar Bandar telah dilupuskan bermula dari kejayaan kerajaan tebuk atap ini mengambil alih. Jawapan daripada Menteri Besar salah satu daripada ejen sewaktu COVID-19 dalam penyampaian Ihsan tadi, Rancangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor antara ejen yang paling bawah adalah Ketua Kampung. Maka, Parit Yaani menyeru apalah kiranya kerajaan Johor sedia memberikan sagu hati sebanyak RM1,000.00 sahaja tanda terima kasih kepada Ketua-Ketua Kampung yang telah menjalankan amanahnya walaupun dengan elaun sebanyak RM400.00 dari kerajaan Johor. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Anak burung jatuh ke tanah, digonggong kucing bawa ke bangsal, berikan lah kepercayaan kepada yang amanah, supaya kita tidak menyesal di kemudian harinya. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada Parit Yaani. Seterusnya, saya persilakan Kota Iskandar.
Bismilllahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor yang dihormati sekalian. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Kota Iskandar terlibat sama dalam perbahasan Belanjawan 2021 pada pagi ini.
Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih mengucapkan setinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam surah Baqarah ayat 156 Allah berfirman (bacaan ayat al-Quran) yang bermaksud “Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kami akan dikembalikan kepada Allah”. Dalam ayat yang lain Allah menyebut (bacaan ayat al-Quran) dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan juga solat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kota Iskandar mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Menteri Besar Johor kerana telah membentangkan belanjawan 2021 yang bertemakan “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran” pada 26 November yang lalu. Belanjawan Johor 2021 memang telah dijangka merupakan belanjawan defisit kerana negara dan negeri Johor sedang berhadapan dengan keadaan luar biasa iaitu penularan pandemik COVID-19 yang telah mengakibatkan jumlah kes positif seramai 63,176 sehingga semalam dengan jumlah kematian seramai 354 orang. Kota Iskandar mengharapkan Belanjawan Johor 2021 ini bersifat belanjawan luar biasa dalam keadaan luar biasa. Sebagaimana ayat yang saya bacakan tadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, ia mengingatkan kita bahawa setiap musibah itu adalah dengan izin Allah, biiznillah dan setiap musibah itu mempunyai hikmah yang besar yang kadangkala luar jangkauan pemikiran kita. Dan, sebagai manusia yang beriman kepada Allah, Allah mengajar kita berhadapan dengan musibah ini dengan kita membanyakkan memohon pertolongan sabar dan juga solat kepada Allah SWT.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada hemat Kota Iskandar Belanjawan Johor 2021 hendaklah memberikan fokus kepada 2 perkara yang penting:
1. Menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk memerangi penularan pandemik COVID-19
2. Menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menangani kesan atau impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi dan juga pendapatan rakyat seperti isu berkurangannya atau hilang sumber pendapatan ekoran pelaksanaan PKP, pengangguran peluang pekerjaan dan juga usaha ke arah pemulihan sumber ekonomi.
Semua kumpulan sasaran yang mudah terkesan dengan pandemik COVID-19 perlu dikenal pasti terutama mereka yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai majikan, menerima gaji secara harian, mereka tidak mencarum KWSP atau PERKESO dan bahkan mereka tidak mempunyai syarikat secara perkongsian atau Sdn. Bhd. Mereka adalah seperti penjaja makanan di tepi jalan, peniaga pasar malam, peniaga di pasar tani, tukang rumah, penoreh getah dan juga petani.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan 2020 adalah belanjawan defisit sebanyak RM248.14 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM1,609.07 juta manakala perbelanjaan mengurus dan pembangunan sebanyak RM1,857.21 juta. Defisit sebanyak RM248.14 juta ini tidak dinyatakan di dalam Belanjawan 2021 dari manakah sumber kewangan yang akan diperolehi bagi menampung defisit sebanyak RM248.14 juta tersebut. Adakah defisit ini akan ditampung melalui pinjaman daripada kerajaan persekutuan atau pun menggunakan rizab tunai kerajaan sedia ada atau pun sumber-sumber yang lain. Sewajarnya perkara ini perlu dinyatakan di dalam belanjawan supaya belanjawan ini lebih telus dan juga bertanggungjawab.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tentang Johor Digital. Mengikut perangkaan ekonomi digital menyumbang 18.5% pada KDNK negara pada tahun 2018 dan diunjurkan akan menyumbang sebanyak 21% pada tahun 2022. Dalam masa yang sama ekonomi digital akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri kita yang berpendapatan tinggi. Sejauh mana kejayaan ekonomi digital adalah bergantung kepada infrastruktur asasnya kesediaan atau capai Internet dan kelajuan speed Internet yang disediakan.
Di bawah Agenda Johor Digital, kerajaan negeri telah melaksanakan Projek Johor Wifi 2.0 dengan peruntukan RM10 juta untuk tempoh 5 tahun. Ini bertujuan untuk meluaskan lokasi capai Internet termasuk di kawasan luar bandar. Johor Wifi 2.0 atau pun dahulu dikenali sebagai Johor Free Wifi (JFW) dilancarkan pada 2015 menyediakan perkhidmatan Internet secara percuma dan meningkatkan kemudahcapai Internet khusus bagi penduduk di luar bandar. Johor Free Wifi melibatkan kos sebanyak RM21.44 juta yang dibiayai oleh kerajaan negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan. Usaha Projek Johor Wifi 2.0 merupakan satu usaha yang baik tetapi beberapa teguran serius yang dibuat di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 berkaitan pelaksanaan Johor Free Wifi yang menyentuh tentang pelbagai kelemahan seperti proses perolehan yang tidak teratur, pentadbiran kontrak yang tidak mengikut SOP dan pengurusan kewangan yang tidak cekap perlu diambil kira perhatian serius oleh kerajaan. Kelemahan ini akhirnya menyebabkan berlakunya kelewatan siapnya projek dan juga ketidakcapaian kualiti perkhidmatan yang disediakan. Kelemahan-kelemahan yang berlaku dalam pelaksanaan Johor Free Wifi ini perlu diperbaiki dan dipastikan tidak berulang semula semasa pelaksanaan Johor Wifi 2.0 nanti.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam Agenda Johor Digital juga akan ditubuhkan Majlis Digital Negeri Johor yang berperanan untuk menyediakan pelan hala tuju digital negeri Johor terutama dalam usaha pemulihan ekonomi Johor. Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara 2.0 yang sekarang telah rebranding dengan Pelan Jalinan Digital Johor atau ringkasnya JENDELA semasa kerajaan Pakatan Harapan kita telah menubuhkan Majlis Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor serta Jawatankuasa Induk Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Johor seperti yang dinyatakan dalam titik fokus 148 dan 150 Belanjawan Johor 2020. Khususnya bagi kerajaan negeri membantu dan menjadi memudah
cara dalam memastikan pelaksanaan NSCP atau pun JENDELA dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Urusan berkaitan dengan tanah adalah merupakan urusan kerajaan negeri dan kerajaan negeri sangat penting untuk memastikan kerajaan pelaksanaan NSCP atau pun JENDELA. Kerajaan Pakatan Harapan pada masa tersebut juga telah mengadakan beberapa siri perundingan dengan pihak TNB untuk menyediakan infrastruktur bagi perkhidmatan teknologi 5G di Johor lebih awal daripada tahun 2023 iaitu menjadi sasaran kepada NSCP atau pun JENDELA. TNB mempunyai pengalaman dalam menyediakan infrastruktur ini melalui projek rintis sistem rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi gentian optik di Jasin pada tahun 2019. Tanpa infrastruktur asas NSCP atau pun JENDELA ini tidak mungkin pelan induk Digital Johor dapat direalisasikan.
Perkhidmatan teknologi 5G sangat penting bagi masa hadapan negeri Johor dalam usaha ini khususnya dalam kita mengekalkan status core negeri Johor sebagai antara negeri penerima pelaburan terus asing atau pun FDI dengan izin yang tinggi dan antara penyumbang utama KDNK negara. Showcase teknologi 5G yang diadakan di Pulau Langkawi pada tahun lepas telah memperlihatkan bagaimana teknologi 5G mampu meningkat kualiti kesejahteraan rakyat sama ada dalam sektor kesihatan, keselamatan, pelancongan, pengurusan trafik, pertanian melalui Smart Farming dan juga pengurusan bencana alam. Dan, alhamdulillah semasa Pakatan Harapan kita telah berjaya menubuhkan Pusat Pemantauan dan Arahan Negeri Johor atau pun Johor Observatory and Common Centre dengan izin, di bawah pengelolaan Digital Johor Sdn. Bhd. dan Common Centre ini bersedia untuk digunakan khususnya dalam kita mempercepatkan membuat keputusan di peringkat kerajaan dalam hadapan dengan sebarang bencana alam khususnya.
Dan dalam lawatan yang pernah diadakan di Common Centre di Jakarta kita juga melihat sebagaimana disebut oleh YB Parit Yaani tadi, bahawa sebahagian data yang merupakan sebahagian big data yang di kumpul di peringkat Jakarta itu dikongsi bersama dengan rakyat bagi memudahkan mereka atau pun bagi memudahkan urusan seharian mereka sama ada pergi ke pasar, sama ada pergi ke hospital bagi menentukan hospital manakah yang mempunyai katil yang masih kosong, harga barang-barang komoditi termasuk harga keperluan hari yang boleh dikongsi bila mana pembangunan big data ini mampu dilaksanakan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam Belanjawan 2020 juga telah diluluskan peruntukan RM500,000.00 bagi membentuk Pelan Hala Tuju Strategik Johor Bestari seperti Smart Selangor sebagaimana titik fokus nombor 147 Belanjawan 2020 dan saya tidak pasti bagaimana sama ada Pelan Hala Tuju Strategik Johor Bestari ini adakah merupakan pertindanan dengan Pelan Hala Tuju Digital Johor sebagaimana yang dicadangkan untuk diusahakan oleh kerajaan sekarang ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di peringkat Johor Niaga, sumbangan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada KDNK negara sangat signifikan. Pada tahun 2019, PKS menyumbang sebanyak 38.9% kepada KDNK iaitu mengatasi sumbangan PKS tahun sebelumnya iaitu 38.3%. Perkembangan sektor PKS adalah antara 5% ke 6% setahun. Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar ada menyebut dalam ucapan beliau, sehingga September 2020 sebanyak 32,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh negara telah menamatkan operasinya. Ini bermakna jika satu entiti PKS sekurang-kurangnya memiliki 5 orang pekerja, seramai 160,000 orang pekerja telah menjadi penganggur. Begitu juga disebutkan di negeri Johor, kemungkinan 5% ke 10% PKS di Johor terpaksa menutup perniagaan akibat daripada gangguan aliran tunai, maka kalau mengambil kaedah yang sama, 50,000 pekerja telah menjadi penganggur akibat daripada penutupan PKS tersebut.
Setelah meneliti pembentangan agenda Johor Niaga melibatkan sektor PKS, Kota Iskandar berpandangan, proactive way yang lebih tinggi dan usaha yang lebih berkesan perlu dilakukan oleh kerajaan negeri dalam membantu sektor PKS di negeri Johor. Saya difahamkan, sebahagian daripada pengkaji menyatakan PKS di negeri Johor yang ada pada jumlah 100,000 memerlukan paling tidaknya peruntukan RM1 bilion bagi memastikan operasi mereka terus berjalan dan mengekalkan jumlah bilangan pekerja yang sedia ada.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Rumah Mampu Biaya Johor. Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, muka surat 37 menyatakan pindaan yang dibuat dengan memasukkan penalti RM40,000.00 ke RM60,000.00 bagi setiap Rumah Mampu Biaya Negeri Johor yang tidak dibina oleh pihak pemaju ke dalam Akaun Kumpulan Wang Yang Disatukan kerajaan negeri dan bukannya ke dalam Akaun Amanah Pembangunan Perumahan Infrastruktur dan Sosial yang ditubuhkan di bawah Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 adalah bercanggah dengan penubuhan akaun amanah tersebut pada September 2011. Kota Iskandar meminta supaya teguran ini juga diambil ingatan dan dipatuhi bagi memastikan bahawa dana di dalam akaun ini benar-benar digunakan bagi membina Rumah Mampu Biaya Johor yang gagal dibina oleh pihak pemaju dan bukannya untuk tujuan-tujuan yang lain.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 juga menyatakan terdapat beberapa perbelanjaan yang tidak menepati kehendak arahan amanah seperti dengan menggunakan akaun amanah untuk membuat bayaran, menaik taraf bangunan pejabat Majlis Perbandaran Muar (MPM) berjumlah RM5 juta dan membuat pembayaran bagi perkakasan, penyelenggaraan dan talian bagi 125 lokasi hotspot Johor Free Wifi dengan kos RM10.1 juta. Walaupun di dalam Laporan Audit menyatakan kelulusan MMK telah diperolehi bagi pembayaran-pembayaran tersebut, tetapi bagi Kota Iskandar, ianya adalah merupakan satu tindakan yang legally is right but morally is wrong, dengan izin.
Program sewa beli usaha sama dengan Maybank. Kota Iskandar ingin merujuk kepada Program Sewa Beli (Rent To Own), dengan izin ditawarkan oleh kerajaan negeri dengan usaha sama pihak Maybank bagi meringankan bebanan wang pendahuluan 10% bagi pembelian rumah. Suka saya nyatakan bahawa di antara isu utama kepada pembeli rumah mampu biaya iaitu kumpulan B40 dan juga M40 adalah untuk mereka mendapatkan akses kepada pinjaman perumahan daripada pihak bank. Kajian yang telah kita buat daripada open balloting ataupun undian terbuka yang dijalankan yang telah pun dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 1 Ogos 2018, 30% ke 40% daripada mereka yang berjaya dalam open balloting, tetapi gagal untuk mendapatkan pinjaman perumahan. Kalau kita lihat usaha sama dengan Maybank, bahkan kita juga berpengalaman dengan Ambank sebelum daripada itu, mereka masih lagi berorientasikan keuntungan dengan syarat-syarat yang sedia ada, yang kita kira akan menyukarkan kepada pembeli khususnya golongan B40 dan juga M40 untuk mendapatkan pinjaman. Tetapi dalam semasa pemerintahan Pakatan Harapan, kita telah memperkenalkan satu skim SPPJ, Skim Perumahan Prihatin Johor di mana kerajaan negeri membeli rumah mampu biaya khususnya Jenis A yang berharga RM42,000, kemudian memberikan rakyat untuk membeli terus dengan kerajaan negeri tanpa melibatkan pinjaman daripada pihak bank. Sepatutnya, kalau kita hendak menyelesaikan isu belian ataupun Pinjaman Perumahan Prihatin Johor, SPPJ ini perlu digerakkan ataupun perlu diperbesarkan.
Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor. Dalam memastikan industri perumahan, khususnya Rumah Mampu Biaya Johor berada dalam keadaan yang sistematik dan berkesan dan industri perumahan mempunyai hala tuju yang jelas dan meletakkan semua agensi yang berkaitan dengan perumahan di bawah satu bumbung, maka penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor ataupun platform yang sepertinya juga mempunyai peranan dan fungsi yang sama perlu ditubuhkan segera. Sehingga ke hari ini, semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak kecuali Kelantan, Perlis dan juga Johor yang masih belum memiliki platform tersebut. Dengan tertubuhnya platform ini,
sasaran serta pemantauan pembinaan rumah mampu biaya sama ada melalui pembinaan rumah mampu biaya oleh pihak pemaju perumahan melalui kuota 40% Dasar Perumahan Johor, kerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti State GLC, kerjasama dengan pihak swasta melalui projek penswastaan dapat dilaksanakan dan diuruskan dengan lebih baik dan juga lebih cekap.
Sempadan Malaysia – Singapura. Penutupan sempadan Johor – Singapura memberi kesan langsung terhadap ekonomi Johor khususnya Bandaraya Johor Bahru. Ia adalah kerana ekonomi Johor sangat berkait rapat dengan ekonomi Singapura. Sebelum penularan pandemik COVID-19, seramai 250,000 orang rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari bekerja di Singapura dan juga ribuan rakyat Singapura yang memasuki Johor setiap hari untuk berbelanja barangan keperluan harian termasuk petrol kenderaan. Senario ini adalah merupakan pemangkin utama kepada kepesatan ekonomi Johor khususnya Bandaraya Johor Bahru. Dan pagi tadi pun YB Larkin telah menyatakan akibat penutupan pintu sempadan dengan Singapura ini, telah menyebabkan FDI kita menyusut sebanyak RM5 bilion. Selepas pintu masuk antara kedua negara ditutup maka ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, hilang pekerjaan ataupun diarahkan bercuti tanpa gaji selepas hampir 6 bulan ditutup, Tambak Johor disenaraikan sebagai laluan yang paling sibuk di dunia, kembali dibuka melalui Laluan Hijau, Timbal Balik (RGL) dan Skim Peraturan Ulang-alik (PCA). Walau bagaimanapun, RGL hanya 400 seminggu ataupun 50 ke 60 orang sehari, manakala PCA hanyalah 2,000 rakyat kedua-dua negara dibenarkan merentas sempadan bagi setiap hari. Sudah sampai masanya bagi kerajaan negeri bagi meningkatkan kembali desakan supaya kerajaan persekutuan membuka laluan sempena ataupun selari dengan skim yang ketiga iaitu Skim Rentas Sempadan setiap hari untuk tujuan bekerja dengan pelaksanaan yang mengikut SOP COVID-19 yang ketat. Pelaksanaan skim baru ini dijangka akan memanfaatkan 200,000 hingga 250,000 rakyat Malaysia di Singapura.
Akhirnya Yang Berhormat Tuan Speaker, keberkesanan Belanjawan. Kejayaan ataupun kegagalan Belanjawan yang dibentangkan hari ini adalah tertakluk ataupun bergantung kepada hasil yang akan diperolehi. Kita perlu melihat perancangan belanjawan ini secara positif iaitu berasaskan kepada result orientation ataupun hasil yang dilihat. Kita tidak hendak lihat belanjawan ini indah khabar daripada rupa ataupun hebat dari segi kalimah-kalimah tetapi tidak dapat direalisasikan dalam sebagai mana yang diharapkan.
Kota Iskandar juga mengharap supaya semua peruntukan yang disediakan kepada kumpulan-kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti benar-benar dapat dilaksanakan sesuai dengan penyampaian dan juga apa nama ni, delivery system yang dapat mencapai kepada kumpulan sasaran. Kita tidak hendak ada pada angka tetapi peruntukan tersebut tidak sampai kepada kumpulan sasaran sebagaimana yang telah disebutkan beberapa contoh oleh YB daripada Parit Yaani sebentar tadi.
Tuan-tuan dan puan-puan. Yang Berhormat Tuan Speaker, akhirnya saya suka membacakan sepotong ayat daripada al-Quran yang mengingatkan kita iaitu daripada Surah As-Saf (bacaan ayat al-Quran) “Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah. Kamu menyatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan”.
Oleh itu pihak kerajaan telah menyatakan, telah menyebut, mereka akan membela kesemua kumpulan yang fragile dengan kesan daripada pandemik COVID-19, kita hendak menuntut pembuktian dalam bentuk pelaksanaan. (Bacaan ayat al-Quran) “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas pimpinan kamu”. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Terima kasih kepada Kota Iskandar. Kita tangguh persidangan ini sehingga jam 2.30 petang ini. Sekian.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.55 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sidang disambung semula. YB Machap, dijemput.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Makmur Johor. Yang Berhormat Timbalan Speaker, pertamanya Machap merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kerana diberi peluang membahaskan Belanjawan Johor 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis, 26 November 2020 yang lalu. Keduanya, Machap turut merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020.
Yang Berhormat Timbalan Speaker, Machap mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar yang telah membentangkan belanjawan yang holistik dan mampan. Belanjawan dirangka pada saat yang paling getir dan mencabar berdepan dengan pandemik COVID-19 yang sangat berbahaya ditambah pula dengan denyutan nadi ekonomi yang hampir terhenti, mengempiskan kantung perbendaharaan untuk tujuan perbelanjaan pengurusan, perbekalan peruntukan pembangunan dan sebagainya. Sebagaimana belanjawan persekutuan, tentunya belanjawan negeri Johor ini juga dinanti, dilihat dan diperhalusi oleh rakyat negeri Johor tentang apa peluang-peluang yang bakal mereka peroleh. Adakah peluang pekerjaan? Apakah nasib mereka mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak kerajaan negeri? Dan, itu mungkin sebahagian yang bermain-main di fikiran mereka.
Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan merasakan kepedulian yang cukup tinggi kepada rakyat, maka belanjawan tetap dirangka sebaik mungkin dengan membuat pengagihan peruntukan, pemberian tunai demi kelangsungan memelihara hidup rakyat, pelaksanaan seperti insentif cukai yang dikurangkan mahupun dikecualikan yang akhirnya menjurus kepada unjuran belanjawan defisit sebanyak RM248.14 juta di mana, hasil kutipan cukai atau hasil negeri Johor kurang berbanding perbelanjaan. Namun apa yang penting, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi agenda utama bagi membela nasib mereka yang terkesan dengan pandemik ini, yang terbatas dari segi kebebasan, pergerakan kebiasaan, terdedah ancaman jangkitan penyakit, penyesuaian dengan norma baharu dengan pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial, terhenti sumber pendapatan ekoran larangan keluar rumah untuk bekerja mahupun diberhentikan kerja ekoran penangan pandemik ini.
Yang Berhormat Timbalan Speaker, Machap ini menyorot kembali COVID-19 yang telah berlaku di DUN Machap dan telah tercatat di dalam lipatan sejarah yang menjadi igauan mimpi buruk bila mana penempatan di Bandar Baru Ibrahim Majid dan Kampung Dato’ Ibrahim Majid pada 27 Mac 2020 di samping 7 kampung yang pada sekitar 5 kilometer berhampiran dengannya telah diisytiharkan menjadi kawasan penempatan pertama ditutup sepenuhnya di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) Akta 342.
Pergerakan langsung terbatas, pergerakan dipantau oleh pihak polis dan askar dengan sekatan di jalan utama termasuk jalan tikus. Hasil kebun sawit terbiar, ada yang hari ini potong sawit anggaran 2 hingga tan yang telah siap dipotong, bila nak diangkat esok maka lori yang nak mengangkat sawit itu telah dilarang untuk mengangkat sawit di kawasan
PKPD, menyebabkan hasil sawit itu terbiar melambak begitu sahaja di dalam kebun. Ada juga yang mengusahakan tanaman sayur, tanaman kacang panjang, tanaman pucuk meranti dan sebagainya yang perlu dipanen mengikut jumlah hari yang tertentu tetapi PKPD telah menyebabkan hasil tanaman ini terbiar begitu sahaja. Walau bagaimanapun, keperluan makanan dan harian tetap dibantu segera oleh pihak Menteri Besar, Pegawai Daerah Kluang, YDP Majlis Daerah Simpang Renggam dan semua pihak yang terlibat membantu mengurangkan tekanan hidup dan perasaan yang mereka alami yang akhirnya pada 29 April 2020, PKPD ini telah ditamatkan di situ. Jadi sini, ada dua keadaan yang berbeza, di kawasan PKPD mereka yang berada di sana pergerakan mereka tidak bebas tetapi mereka masih dibekalkan dengan keperluan makanan asas oleh pihak-pihak yang tertentu tetapi di luar kawasan PKPD, mereka ini agak bebas pergerakan tetapi oleh kerana mereka ada larangan untuk bekerja, mereka tidak ada sumber kewangan untuk membeli barangan keperluan asas. Satu tempat mereka tidak bebas tetapi ada kemudahan keperluan makanan asas diberi, dan di satu tempat pula mereka bebas, agak bebas tetapi tidak ada keperluan makanan. Begitulah yang berlaku di kawasan DUN Machap pada ketika itu.
Sejarah telah tercatat, seramai 181 orang penduduk di kawasan tersebut didapati positif COVID-19 yang kini Alhamdulillah mereka telah bebas daripada COVID dan sejarah juga mencatatkan seramai 4 orang telah meninggal. Bagi pihak mangsa dan keluarga yang terkena COVID, bantuan RM1,000,00.00 dan RM2,000,00.00 sangat bermakna tanda keprihatinan kerajaan kepada mereka. Bagi pihak penduduk di kawasan PKPD di DUN Machap, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan hadapan menangani COVID-19. Kepada pihak KKM, pihak Pejabat Daerah Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam, pihak Polis, askar, Jabatan Pertahanan Awam, JKM, RELA dan semua pihak yang terlibat.
Terima kasih tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan rakan-rakan EXCO yang telah sudi hadir ke Bandar Baru Abdul Majid dalam Program Lawatan Kerja MB Johor ke daerah Kluang pada 28 Jun yang lalu. Tentunya kehadiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar memberi kekuatan semangat kepada penduduk dalam lawatan ke rumah waris yang meninggal dan juga kepada rombongan yang mengikuti sama dalam program tersebut yang sebahagian besarnya menaiki motor dan saya sempatlah berbonceng motosikal dengan Yang Berhormat daripada Sri Medan dan juga terima kasih yang tidak terhingga juga kepada YB EXCO Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor yang telah hadir dua kali dalam program yang dianjurkan oleh penduduk di BBAM, Bandar Baru Abdul Majid selepas PKPD ditarik balik. Maknanya ini EXCO yang beranilah, masuk ke kawasan yang dulunya PKPD telah ada, dia berani masuk ke situ.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kesan ketara ekoran pandemik COVID-19 ini ialah ramai rakyat yang terhenti sementara sumber pendapatan kerana kehilangan pekerjaan sama ada dicutikan mahu pun diberhentikan kerja. Bayangkan rata-rata rakyat Johor yang berulang alik seramai 250,000 yang berulang alik bekerja di Singapura apabila tidak boleh masuk bekerja di sana, tentunya pendapatan mereka terjejas ataupun terputus. Ada yang perlu melunasi sewa bulanan setiap bulan, yang menyewa di Johor Bahru misalnya, ada terpaksa membayar bil bulanan, perlu menyara kehidupan keluarga, makan minum dan keperluan harian apabila mereka terpaksa memikirkan apa perlu dibuat dalam keadaan sekarang? Ada yang bekerja diberi upah harian seperti pemandu lori, buruh binaan, peniaga makanan, penjual kuih telah tidak ada sumber pendapatan bila PKP berlaku di peringkat awal penguatkuasaan. Mereka buntu untuk mencari sumber pendapatan menampung kehidupan seharian. Syukur kerana kerajaan menyalurkan Bantuan Prihatin Nasional. Kerajaan negeri menyalurkan RM20,000.00 kepada setiap ADUN untuk membantu rakyat dengan menyalurkan duit atau memberi barang keperluan asas kepada mereka. Namun perlu diingat, bantuan ini berupa one-off bersifat jangka pendek, sedangkan keperluan jangka panjang ialah rakyat memerlukan pekerjaan untuk kelangsungan pekerjaan dengan peluang
pekerjaan yang boleh mereka isi ketika ini dan tentunya mereka melihat adakah kerajaan dapat membantu mereka dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka ketika ini?
Yang Berhormat Speaker, Machap melihat belanjawan yang dibentangkan dengan memberi fokus kepada 12 Agenda Kebajikan, keberdayaan dan keberhasilan utama telah digarap dengan begitu baik. Ada agenda yang digarap bagi penyelesaian jangka panjang dan ada agenda yang digarap untuk penyelesaian segera dalam menangani kesusahan semasa. Untuk jangka panjang misalnya, peruntukan kepada jabatan-jabatan dan organisasi peringkat akar umbi membantu sektor tersebut digembleng ke arah menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan, menambah pendapatan dalam bidang tertentu yang lebih berdaya maju dengan bantuan mesin dan peralatan bengkel bagi penghasilan yang lebih banyak dalam pelbagai sektor yang terlibat. Ini semua memberikan kesan pulangan pendapatan dan ekonomi yang baik kepada semua yang terlibat sama ada individu, kumpulan yang terlibat termasuk pihak kerajaan sendiri dalam mendepani pandemik ini.
Yang Berhormat Speaker, Machap ingin menyentuh dan mengupas beberapa agenda dalam perbahasan ini. Pertama, Agenda Johor Digital, usaha kerajaan melaksanakan Program Wifi 2.0 dengan peruntukan RM10 juta untuk 5 tahun bertujuan meluaskan lokasi capaian Internet sangat dialu-alukan. Ekoran COVID-19 ini, sekolah terpaksa ditutup, di mana pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah online dengan menggunakan peranti Internet adalah salah satu kaedah yang digunakan.
Penggunaan whatsapp,telegram, google meet di mana pelajar-pelajar mengakses Internet dari guru dan mereka belajar menggunakan handphone atau pun laptop. Kebiasaannya seseorang pelajar akan menggunakan data dengan kadar RM15.00 untuk belajar dengan kaedah online ini. Sebagaimana yang telah disebut oleh Yang Berhormat Parit Yaani tadi, Machap juga merasa terpanggil untuk membicarakan hal ini kerana melihat pengajaran dan pembelajaran terutamanya kepada pelajar-pelajar yang di luar bandar harus kita titik beratkan dalam keadaan pandemik ini. Kita melihat capaian Internet di luar kampung atau di luar bandar sangat menyedihkan. Pelajar tidak belajar secara online kerana masalah capaian Internet ini. Mungkin pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor ada maklumat atau data tentang peratus pembelajaran online pelajar di luar bandar dan di bandar dan juga penggunaannya mengikut kaum atau kita perhalusi dan tindakan diambil bagi memastikan jurang pelajar di bandar dan di luar bandar tidak semakin jauh. Sebab, saya difahamkan bila sesi pembelajaran secara online, pelajar yang menghadapi masalah capaian Internet mereka tidak dapat mengikuti apa jua yang diakses oleh guru kepada pelajar dan kadang kala mereka belajar dengan menggunakan handphone, handphone itu dimiliki oleh bapa, jadi mereka berkongsi handphone dengan pelajar, dengan bapa untuk belajar sebagaimana pada masa pandemik ini.
Justeru, Machap mengharapkan syarikat-syarikat Telco seperti Celcom, MAXIS, Yess, U-Mobile, Digi, Red One dan sebagainya harus memikirkan kebajikan sosial, khidmat sosial yang boleh mereka sumbangkan bagi membantu masalah di mana penduduk di luar bandar terutamanya pelajar-pelajar dalam mendepani pembelajaran secara online ini sebab kita khuatir bila jangka masa pandemik ini akan berakhir. Makna kalau tiga tahun lagi, maknanya keadaan yang begini serius, sekolah mungkin akan ditutup dalam jangka masa panjang, maknanya pembelajaran menggunakan kaedah online itu tentunya satu pilihan kepada perkembangan secara pengajaran dan pembelajaran terkini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di kawasan Bukit Batu Machap terdapat sebuah pencawang yang dibina oleh sebuah syarikat, pemohon di bawah Aneka Bina MN, di bawah Koridor Utiliti Johor. Machap melihat pencawang telah siap dibina tetapi bilakah penduduk di situ akan mendapat kemudahan Internet yang akan ditawarkan? Mohon penjelasan tentang situasi ini sebab penduduk mengharapkan di dalam keadaan begini dalam keadaan sekarang, khidmat daripada pencawang yang dibina itu dapat disegerakan operasinya.
Di bawah Agenda Johor Niaga, Machap melihat semasa PKP orang ramai yang tidak bekerja dan mungkin diberhentikan kerja, penglibatan anak-anak muda dalam perniagaan kecil-kecilan seperti makanan sangat menggalakkan, mereka berniaga pisang goreng, jualan kuih-muih, pelbagai jenis makanan yang tidak memerlukan modal besar. Mereka berniaga di pasar-pasar minggu, pasar malam, di kaki lima di kawasan PBT, di tepi jalan dan sebagainya. Mohon pengecualian lesen berniaga sementara kepada mereka yang berniaga ini sebab mereka dalam keadaan tersepit untuk mencari sumber rezeki pada masa ini.
Agenda Prasarana Johor iaitu perkhidmatan Bas Muafakat Johor bagi menambah bilangan pengguna, perkhidmatan bas di DUN Machap dicadangkan laluan dari Kampung Batu 6 hingga ke Kampung Sri Maju di Machap boleh digunakan untuk Bas Muafakat Johor ini beroperasi. Ini bagi membantu memudahkan anak-anak yang bersekolah terutamanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Seri Machap dapat menggunakan bas tersebut dan juga mengelakkan daripada pelajar-pelajar yang kemungkinan tidak mempunyai lesen memandu yang didapati sebahagian besarnya menggunakan kenderaan bermotor untuk pergi ke sekolah dan baru-baru ini bila ada operasi daripada pihak yang berwajib di sekolah di Renggam dan juga di Machap menyebabkan ramai pelajar telah dikeluarkan saman dan ibu bapa terpaksa membayar dalam keadaan sumber pendapatan ibu bapa dalam musim pandemik ini rata-rata di bawah B40 tentulah menyukarkan kepada pihak ibu bapa untuk membantu melunasi saman yang dikeluarkan kepada anak-anak mereka. Dan pemberian insentif one-off sebanyak RM100.00 dan dua kepada 2,000 pemandu dan penghantar makanan syarikat e-hailing di Machap ada 15 hingga 20 orang yang bergerak menggunakan motosikal berlogo panda memberikan perkhidmatan mereka menghantar makanan dan barangan dengan anggaran pendapatan RM2,000.00 hingga RM2,500.00 sebulan dan mereka ini rata-rata kepada anak-anak muda dan sumbangan ini tentulah sekurang-kurangnya menghargai peranan mereka pada ketika ini.
Yang Berhormat Speaker, penghargaan kepada front liner, Machap sangat mengalu-alukan pemberian sebanyak RM200.00 kepada 30,000 petugas. Di sini, Machap ingin menyuarakan cadangan agar dipertimbangkan juga kepada pekerja-pekerja SWM yang bertugas mengangkat sampah di kawasan PKPD dan juga di kawasan di Simpang Renggam bila mana penguatkuasaan kepada larangan itu, pergerakan itu, orang tidak berani keluar rumah tetapi pekerja-pekerja SWM ini berani untuk bekerja memungut sampah bagi memastikan kawasan taman-taman dan juga di Majlis Perbandaran tidak tercemar dengan bau busuk atau pun sampah yang terbiar. Sewajarnya mereka juga dipertimbangkanlah untuk diberikan sedikit penghargaan termasuk sukarelawan yang membantu menyalurkan, mengagihkan makanan di kawasan-kawasan PKPD ini. Sebab, bila mana pihak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, daripada APAM menyalurkan bantuan ini ke rumah-rumah, mereka ini bukan orang asal di situ. Mereka tidak tahu rumah-rumah dan jalan masuk dan petugas-petugas sukarela inilah yang membantu.
Jadi Tuan Speaker, Machap tidak lupa membawa satu usul, satu isu yang kalau dulu Machap sering bercakap isu berkaitan dengan pencemaran air di Machap. Alhamdulillah, sering kali Machap bercakap akhirnya isu itu selesai. Tapi, pada masa ini isu yang sampai sekarang masih belum selesai iaitu isu gangguan lalat yang masih banyak di Simpang Renggam terutamanya di Machap. Dan juga ada satu viral FB di mana dinyatakan DO Kluang dan YB Machap sudah hilang deria bau. Nasib baik saya ada teman, teman dikutuk iaitu DO. Kalau saya seorang mesti terasa tapi dia kata YB Machap dan DO Kluang tidak ada deria bau. Sebab apa? Sebab gangguan bau daripada ladang ternakan ayam yang Machap kira perlu ditangani dengan sebaik mungkin oleh pihak Veterinar dan dimaklumkan Veterinar kekurangan kakitangan mereka untuk membuat pemantauan berskala di ladang ternakan ayam ini. Jadi, Machap menyarankan agar jabatan, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menambah bilangan kakitangan Veterinar Negeri Johor supaya kecukupan bilangan pegawai ini dapat membantu kepada pemantauan di ladang-ladang
ternakan ayam ini supaya mereka akan beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan. Dan, juga Machap merayu agar tidak ada lagi ladang ternakan ayam yang baru dibuka di Simpang Renggam. Kita tidak mahu dengan masalah yang ada, bila ada ladang ternakan ayam ini akan menambah beban, menambah masalah yang sedia ada di Simpang Renggam terutamanya.
Yang Berhormat sila gulung.
Saya minta kepada pihak EXCO agar membantu memastikan adanya kerjasama tindakan di antara Veterinar dalam pemantauan di ladang ternakan ayam, daripada pihak Jabatan Pertanian yang memantau penggunaan baja tahi ayam ini di kebun-kebun sawit misalnya dan Kementerian Kesihatan dalam membantu menyalurkan racun serangga bagi memusnahkan lalat ataupun sebagainya.
Yang Berhormat Speaker, rumusannya, belanjawan ini sebagai belanjawan yang merata dan menyeluruh, menyentuh. Ini sebagaimana kata YB Rengitlah dan Machap tambah, juga merasa di mana kerajaan tetap berusaha membantu rakyat terkesan ekoran pandemik 19 merangkumi golongan B40, golongan usahawan, penternak, petani, warga emas, orang sakit, anak muda, pelajar sekolah, mahasiswa bisa menyalurkan peruntukan bagi menjana ekonomi dan negeri. Moga proses mengeluarkan, mengagihkan peruntukan kepada rakyat yang disasarkan dipermudahkan, disegerakan sebab mereka tertunggu-tunggu dengan peruntukan dan juga pemberian di kalangan mereka di peringkat bawahan. Dengan ini Machap menyokong belanjawan yang dibentangkan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Endau, sila.
Terima kasih YB Puan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Selawat). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera dan salam makmur Johor. Pertamanya, Endau ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana sekali lagi membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi ucapan perbahasan pada kali ini. Sesungguhnya apa yang Endau ingin bahaskan pada kali ini adalah amat penting bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan di kawasan Endau dapat diambil berat oleh pihak kerajaan negeri. Endau juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor kerana berjaya menyediakan serta membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Johor Darul Ta’zim pada 26 November yang lalu. Maka Endau mengharapkan segala pengumuman dalam belanjawan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Johor dan sudah pasti merancakkan lagi pembangunan negeri ini.
Di kesempatan ini juga Endau ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Perikatan Nasional yang berjaya membentuk kerajaan negeri seterusnya mengangkat Yang Amat Berhormat Benut untuk memimpin kerajaan baru ini. Tahniah juga kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang dipilih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bergerak sebagai satu pasukan di bawah Yang Amat Berhormat Benut dalam mentadbir serta membawa negeri ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh rakyat Johor. Endau juga mendoakan agar negeri Johor sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang bala bencana, musibah dan wabak penyakit khususnya pandemik Covid19 yang sedang melanda dunia ketika ini.
Di kesempatan ini juga, Endau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh COVID 19, semoga Allah membalas jasa tuan puan sekalian.
Yang Berhormat Puan Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada persidangan kali ini bagi menyampaikan suara hati masyarakat Endau. Yang pertamanya adalah tentang jambatan dan kesesakan musim perayaan. Ya, Endau menyedari bahawa isu inilah yang kerap Endau sentuh di Dewan yang mulia ini. Tidak kiralah melalui perbahasan sebelum ini ataupun melalui ajukan soalan lisan dan bertulis. Endau akan terus komited untuk membawa isu ini daripada semasa ke semasa dan Endau juga yakin bahawa Yang Berhormat Tenggaroh juga sentiasa memikirkan permasalahan ini.
Umum mengetahui bahawa Jambatan Mersing yang kecil dan sempit serta usang telah menjadikan aliran trafik sering terganggu. Bahkan apabila musim perayaan tiba, kesesakan luar biasa akan berlaku yang mana boleh menjangkau 10km panjangnya. Endau ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing yang sentiasa bersedia menjalankan tugas menangani kesesakan yang sebenarnya boleh dijangka saban tahun apabila musim perayaan tiba. Malahan bukan itu sahaja, jalan-jalan alternatif juga terpaksa difikirkan pihak berkuasa bagi mengurangkan kesesakan. Kami di Mersing sudah lama digembar-gemburkan dengan pembinaan jambatan baru dan juga by pass, dengan izin. Namun pada ketika ini masih belum menampakkan sebarang berita gembira. Endau mengetahui bahawa pembinaan jambatan baru akan menelan kos jutaan ringgit. Jadi, besarlah harapan Endau, agar masalah yang Endau utarakan saban tahun ini yang memberi kesan kepada daerah Mersing sekian lamanya dapat diselesaikan segera oleh pihak kerajaan. Ini adalah suara Endau buat kali ketiga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang ketiga sepanjang perkhidmatan Endau menjawat jawatan Wakil Rakyat bagi kawasan DUN Endau.
Yang Berhormat Puan Speaker, kedua adalah mengenai Perumahan Mampu Biaya iaitu satu keperluan. Endau ingin nyatakan secara jelasnya di Dewan yang mulia ini, bahawa di kawasan Endau khususnya dan Mersing umumnya, tidak terdapat satu buah pun rumah Mampu Biaya Johor yang dibina oleh pihak kerajaan. Endau sering diberikan jawapan bahawa tiada keperluan mendesak untuk membina Perumahan Mampu Biaya di kawasan Mersing dan Endau. Endau ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini, berkaitan satu kes yang terjadi yang mungkin boleh menarik minat kerajaan untuk mengambil berat permasalahan perumahan yang Endau utarakan ini.
Umum mengetahui bahawa kerajaan negeri melalui Johor Land telah membina sebuah taman perumahan yang dinamakan Perumahan Taman Dato’ Ajib yang mana tujuan pembinaan tersebut adalah bagi menempatkan mangsa-mangsa di kawasan di mukim Endau. Kerajaan negeri telah membina 146 unit rumah dua kategori iaitu Pakej A dan Pakej B. Daripada 146 unit rumah, 107 unit telah diisi oleh pemohon yang layak dan tinggal 39 unit yang kosong dan perlu diisi. Pihak kerajaan melalui Pejabat Daerah telah mengiklankan kekosongan ini dan mempelawa individu yang berminat untuk mengisi kekosongan yang ada. 39 kekosongan tapi YB Speaker tahu berapa jumlah borang yang diisi oleh pemohon yang berminat? Hampir 700 permohonan yang diterima oleh pejabat Daerah. Daripada 700 permohonan. Pihak urus setia terpaksa menyenarai pendek menjadi 100 orang sahaja untuk dipanggil temu duga. Lihatlah betapa mendesaknya keperluan rumah pada masa kini di daerah Mersing. Siapa kata tiada permintaan yang tinggi di Mersing dan siapa kata rumah akan kosong tidak dihuni di Mersing jika dibina di Mersing? Ini adalah retorik semata-mata.
Endau berharap agar Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dapat memikirkan hal ini dan dapat mewujudkan Perumahan Mampu Biaya ataupun PPR di kawasan Mersing dan Endau.
Satu lagi Yang Berhormat Speaker, Endau juga telah berjumpa Setiausaha Politik kepada Yang Amat Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia bagi memanjangkan satu cadangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat iaitu PPR di sebidang
tanah milik sebuah syarikat yang mana syarikat itu juga berminat untuk membinanya. Pembinaan PPR ini boleh menjadikan sehingga 1000 unit rumah secara strata. Secara dasarnya pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersetuju dengan cadangan ini dan Endau juga telah memandangkan hasrat ini kepada Yang Berhormat EXCO kerajaan negeri. Semoga perancangan yang akan memberi manfaat ini kepada rakyat ini dipermudahkan dan disokong penuh oleh pihak kerajaan negeri, Insya-Allah.
Ketiga, Endau ingin menyentuh soal pendidikan dan keperluan pembinaan Sekolah Menengah Kedua. Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan sidang Dewan sekalian, buat masa ini terdapat hanya sebuah sekolah menengah sahaja di pekan Endau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin. Jumlah murid terkini adalah seramai 1,182 orang iaitu 572 murid lelaki dan 610 murid perempuan. Bilangan guru pula adalah seramai 119 orang dan anggota kumpulan pelaksana seramai 21 orang. Keperluan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah adalah kerana infrastruktur yang terdapat di SMK Ungku Husin telah mencapai kapasiti maksimum untuk menampung pertambahan jumlah murid setiap tahun. Cadangan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah ini bukan satu isu baru kerana cadangan ini telah lama diutarakan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan keperluan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah di kawasan Pekan Endau. Di sekitar pekan Endau, terdapat 6 sekolah kebangsaan, sebuah sekolah kebangsaan pedalaman iaitu SK Orang Asli Labung dan dua buah sekolah jenis kebangsaan Cina. Kesemua murid sekolah ini akan bersekolah di peringkat sekolah menengah di SMK Ungku Husin.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan sidang Dewan juga, murid-murid yang tinggal di kawasan Penyabung juga terpaksa bersekolah di SMK Ungku Husin yang mempunyai jarak sejauh 15km. Keadaan menjadi rumit apabila musim hujan kerana tidak semua murid di kawasan Endau ini mempunyai kemudahan kereta dan mampu untuk menyewa bas sekolah. Ketiadaan asrama juga menyebabkan murid-murid yang tinggal jauh terpaksa berulang-alik setiap hari untuk ke sekolah. Cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah baru ini dicadangkan untuk dibina di kawasan Mukim Penyabung bagi memudahkan murid-murid yang tinggal di kawasan mukim ini dan mukim-mukim berdekatan. Oleh itu, Endau secara serius memohon agar pihak kerajaan negeri Johor dapat membawa permasalahan ini kepada pihak kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diberikan pertimbangan yang serius dalam menyelesaikan masalah ini agar kebajikan rakyat terus terbela. Terima kasih.
Yang keempatnya, kebajikan dalam menghadapi pandemik COVID-19. Dalam keadaan yang penuh mencabar ini, rakyat sangat memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan. Dalam waktu yang sama juga, pihak kerajaan perlu mengimbangkan antara kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri. Endau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak kerajaan negeri Johor kerana berjaya menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor yang berjumlah RM174.5 juta yang merangkumi 54 inisiatif dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. Endau ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan beberapa inisiatif pada tahun hadapan memandangkan pandemik ini tidak tahu bila akan berakhir. Antaranya pemberian tunai bantuan ihsan COVID-19 Johor yang diberikan mengikut kelayakan iaitu RM250.00 atau RM500.00 diteruskan dan meningkatkan jumlah amaun ini. Rakyat sangat memerlukan bantuan-bantuan seperti ini terutama golongan B40 dan di kawasan Endau sendiri mempunyai ramai golongan B40 ini yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan, petani dan bekerja sendiri sebagai nelayan, petani dan bekerja sendiri. Endau berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, selain itu Endau juga mengharapkan pihak kerajaan dapat meneruskan program Bank Makanan untuk golongan yang amat memerlukan dan menambah jumlah penerima dan peruntukan dalam menjayakan program ini. Endau juga memohon pihak kerajaan untuk melanjutkan tempoh pengecualian bayaran lesen
perniagaan yang akan berakhir pada bulan Disember 2020 ini. Kepada PKS kategori mikro yang berdaftar dan memiliki lesen perniagaan dengan PBT. Peniaga-peniaga ini masih bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Endau setuju dengan YB Machap dan juga berharap agar pihak kerajaan dan PBT dapat menyambung semula pengecualian bayaran tapak perniagaan bagi peniaga-peniaga pasar tani, pasar malam dan pasar pagi di semua kawasan PBT yang berakhir pada bulan Oktober 2020 yang lalu. Peniaga-peniaga ini perlu terus dibantu kerana mereka berniaga bukan untuk menjadikan kaya raya tetapi untuk mencari sesuap nasi demi keluarga dan anak-anak mereka.
Kerugian yang ditanggung oleh PBT tidaklah seberapa sangat jika dibandingkan dengan beban yang ditanggung oleh golongan-golongan ini. Perkembangan ekonomi juga sangat penting tapi pada masa pandemik ini, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting dan mereka menanti bantuan daripada pihak kerajaan. Insya-Allah setiap apa yang kita lakukan ikhlas untuk rakyat, Allah akan membalasnya berlipat ganda kelak. Justeru, Endau berharap pihak kerajaan negeri Johor untuk terus melipat gandakan usaha membantu rakyat dalam keadaan yang penuh mencabar ini.
Yang kelima adalah kemudahan infrastruktur balai polis dan kebajikan anggota polis. Endau ingin memohon kepada pihak kerajaan negeri untuk menaik taraf balai polis dan juga menambah bilangan kuarters pegawai dan anggota polis di pekan Endau. Keadaan balai polis yang kecil dan kuarters polis yang sudah lama tidak di naik taraf sangat menyulitkan keadaan. Perlunya pembinaan balai polis baru yang lebih besar dan selesa berikutan pertambahan jumlah penduduk di pekan Endau yang memerlukan satu infrastruktur yang lebih lengkap dan selesa. Pembinaan kuarters baru juga sangat diperlukan kerana bilangan rumah yang sedia ada tidak mencukupi bagi menampung pertambahan jumlah anggota. Anggota yang tidak dapat tinggal di kuarters terpaksa menyewa di luar dan ada di antara mereka ini terpaksa berulang-alik dari bandar Mersing ke pekan Endau sejauh 30 kilometer. Keadaan ini perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan dalam kita menjaga kebajikan barisan hadapan negara kita dengan izin, front liners. Oleh itu, Endau mengharapkan pihak kerajaan negeri dapat mempertimbangkan permohonan dan mengajukannya kepada pihak kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Dalam Negeri agar dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada tahun depan.
Yang keenam Yang Berhormat Puan Speaker, adalah mencipta peluang peniagaan dan pekerjaan kepada golongan B40. Di era pandemik COVID-19 ini lebih banyak pengangguran bakal berlaku di dalam hampir semua sektor pekerjaan. Suasana ini tidak terkecuali bagi kawasan Endau yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan. Bagi menghadapi keadaan ini, Endau bersama beberapa agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang kawasan Mersing dan LKIM Mersing sering berbincang bagi mencari jalan bagaimana mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru kepada penduduk di kawasan Endau khususnya bagi golongan B40. Sekor pertanian, penternakan ayam dan ikan air tawar serta penghasilan produk hiliran yang merupakan pekerjaan tradisi di kawasan Endau di lihat sangat berpotensi dimajukan berdasarkan sumber guna tanah yang terdapat di sini. Namun, dicadangkan pemajuan tanah secara integrasi dan berkelompok bagi sektor-sektor tersebut perlu dilaksanakan.
Yang Berhormat Puan Speaker, kami namakan pemajuan ini sebagai Projek Ekonomi Desa. Dalam kata yang lain, mohon kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memberi kelulusan guna pakai rizab SPKR bagi dimajukan dengan Projek Ekonomi Desa di kawasan DUN Endau. Iaitu di mana baki kawasan tanah kerajaan bagi cadangan penempatan SPKR Jalan Pak Wan, Kampung Tenglu yang berkeluasan 20 ekar. Bahkan masih terdapat tanah-tanah kerajaan yang bersebelahan dengan Kawasan rizab SPKR ini yang boleh dimajukan. Secara umumnya tanah ini akan dimajukan dengan aktiviti-aktiviti seperti projek ternakan ayam daging, projek ternakan ikan air tawar, projek tanaman kontan, perusahaan produk
IKS. Kaedah pelaksanaan projek ekonomi desa ini adalah secara kerjasama strategik di antara beberapa agensi kerajaan seperti PPK Mersing, ECER, LKIM, RISDA, FAMA dan juga pihak swasta.
Sidang Dewan sekalian, melalui projek ekonomi desa ini dianggarkan akan menyediakan peluang pekerjaan seramai 230 orang pekerja tetap dan sambilan. Pelaksanaan projek ini juga adalah selaras dengan hala tuju pembangunan Mersing 2030 yang telah menetapkan sasaran melalui cadangan pengurusan aktiviti pertanian dan penternakan secara komprehensif dengan mewujudkan apa yang dipanggil sebagai kawasan tumpuan pembangunan pertanian iaitu ACDA. Diharapkan cadangan mewujudkan Projek Ekonomi Desa di kawasan DUN Endau mendapat sokongan dari pihak kerajaan negeri.
Yang Berhormat Puan Speaker, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan iaitu PKP dikuatkuasakan pada Mac 2020, sektor bekalan makanan iaitu agro makanan termasuk di dalam kategori perkhidmatan penting negara iaitu essential services dengan izin, yang dibenarkan beroperasi. Ini bagi menjamin bekalan makanan sentiasa mencukupi di sepanjang PKP dikuatkuasakan. Sebagaimana yang kita sedia maklum aktiviti yang terlibat di dalam agro makanan adalah seperti ternakan ruminan, unggas, ikan air tawar dan juga tanaman kontan. Mereka yang terlibat di dalam sektor ini seharusnya diberi penghargaan kerana mereka juga sebenarnya adalah wira negara. Tanpa usaha gigih mereka, negara akan menghadapi masalah bekalan makanan yang serius.
Walaupun pelbagai inisiatif baru telah disediakan kepada sektor agro makanan ini, namun masih terdapat isu yang terbelenggu kepada pengusaha agro makanan iaitu berkenaan kos bekalan elektrik.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya difahamkan oleh peserta TKPM dan juga pengusaha kolam ternakan air tawar, kadar tarif bil elektrik yang dikenakan kepada mereka pada masa ini adalah dalam kategori perdagangan komersial. Ini telah menyebabkan kos operasi bahan api mereka adalah tinggi. Sekali gus telah menyebabkan kos pengeluaran mereka menjadi tinggi, keadaan ini sering kali menjadi perbahasan di kalangan peniaga-peniaga yang mengatakan harga bekalan makanan tempatan lebih tinggi berbanding yang diimport dari negara jiran seperti Vietnam dan China.
Justeru, saya ingin mencadangkan dua langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan bagi mengatasi masalah ini secara jangka panjang, yang pertama saya mencadangkan agar tarikh bekalan elektrik kepada aktiviti yang terlibat dengan sektor agro makanan ini dikurangkan kepada suatu tarif yang jauh lebih rendah berbanding sekarang. Saya percaya langkah ini akan membantu menjadikan sektor ini lebih berdaya saing di masa akan datang. Yang kedua, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan iaitu MAFI agar menambah peruntukan bagi menyediakan infrastruktur bekalan tenaga diperbaharui seperti sistem solar bagi aktiviti-aktiviti yang terlibat dengan sektor agro makanan ini. Secara jangka panjangnya sudah tentu para pengusaha akan dapat pengurangan kos bekalan elektrik bagi menjadikan sektor terus berdaya maju.
Yang terakhir adalah berkaitan dengan monsun dengan nasib nelayan. Sesungguhnya setiap kejadian yang berlaku di muka bumi adalah atas kehendak yang Maha Esa. (Bacaan ayat al-Quran). Kita merancang, Allah perancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Kita sedang menghampiri penghujung tahun dan bermulalah monsun-monsun yang kita jangkakan akan menerima taburan hujan yang tinggi berserta lautan bergelora sehingga Mac tahun hadapan. Sudah pasti kawasan-kawasan yang berisiko dinaiki air atau banjir telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan pemantauan agensi keselamatan juga sudah dimaklumkan.
Endau dimaklumkan bahawa kemungkinan taburan hujan yang diterima atau bencana banjir yang mungkin melanda tahun ini adalah sama seperti kejadian tahun 2006 yang mana menyebabkan tenggelamnya bandar Kota Tinggi, nauzubillah, moga kita dilindungi. Bahkan kini para nelayan juga sudah tidak turun ke laut berikutan cuaca yang tidak menentu serta angin yang mula kuat membahayakan nyawa mereka. Sudah pasti hari ini mengakibatkan hasil perikanan berkurangan dan pendapatan nelayan juga turut terjejas. Dalam tempoh mempersiap siaga sebarang kemungkinan, Endau berharap agar kerajaan negeri dapat membantu dengan memberi insentif atau bantuan kewangan kepada para nelayan melalui persatuan nelayan yang ada di Mersing. Melalui penyaluran dana ini sudah pasti kita sebagai kerajaan telah sedikit sebanyak meringankan beban kepada nelayan. Di samping itu, persediaan sebelum banjir juga perlu kita diperhalusi dengan sebaiknya dengan menyediakan dana kewangan kepada Wakil-Wakil Rakyat yang kawasannya berisiko dilanda banjir kerana perbelanjaan ketika banjir adalah amat diperlukan bagi menjaga kebajikan penduduk yang terlibat. Walau bagaimanapun, Endau mendoakan agar negeri Johor terpelihara daripada bala bencana, insya-Allah, amin.
Yang Berhormat Puan Speaker, rasanya cukuplah lapan perkara yang Endau bangkitkan pada Sidang kali ini, kerana Endau cukup yakin pada kerajaan sentiasa cakna dan mengambil berat serta prihatin dengan setiap permasalahan yang diutarakan oleh Ahli Dewan sekalian. Besarlah harapan Endau setinggi gunung Arung agar kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor menimbangkan serta meluluskan isu-isu yang Endau bangkitkan. Jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana memperuntukkan RM450,000.00 bagi pembinaan infra dan pembangunan produk agro eco tourism di hutan Taman Negara Gunung Arung Mersing.
Dari Kedah ke pekan sari, beli suasa di Kota Tinggi, selesai sudah tugas diberi, di lain masa bersua lagi. Kalau pergi Tanjung Keramat, anak manis jangan diangkat, bersama kita memohon rahmat, moga sidang mendapat berkat. Kuih Bahulu tradisi kita, keropok Mersing pembuka selera, tangan dihulur maaf dipinta, agar ukhuwah terjalin mesra. Dengan ini Endau menyokong Belanjawan yang dibentangkan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Mahkota. Jemput
Bismillahirahmanirahhim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, terima kasih. Mahkota tertanya-tanya bilakah COVID-19 akan hilang atau tidak lagi menjadi permasalahan di negara, di dunia ini. Kerana kita bimbang semakin lama, pandemik ini berlaku, maka semakin ramailah mereka yang akan susah. Makin susahlah kerajaan hendak mencari wang, hendak memastikan bahawa segala keperluan rakyat yang benar-benar sebelum ini pun telah susah akan menjadi lebih susah lagi. Berapa banyak perniagaan yang telah tutup, berapa ramai orang-orang yang hilang pekerjaan dan berapa ramai yang menderita sebelum berjaya mengatasi? Bajet yang kita bincangkan adalah bajet tahun hadapan. Perancangan ke depan kita hendaklah melihat dengan lebih jauh, kerana jangan kita merancang hanya setahun ke setahun dan hanya menyelesaikan masalah-masalah dalam erti kata jangka pendek sahaja.
Untuk makluman Yang Berhormat Puan Speaker, pengangguran bertambah-tambah. Strategi dan pelaksanaan yang tidak cukup yakin yang dibuat oleh kerajaan ataupun mana-mana pihak akan menimbulkan satu konflik, permasalahan di kalangan individu dan permasalahan di kalangan mereka-mereka yang ingin terus hidup di dalam dunia ini. Saya yakin kebersamaan kita di dalam Dewan ini, perpaduan merentasi politik demi menjaga kepentingan rakyat saya mengharapkan supaya kita kebersamaan ini dapat kita lakukan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Belanjawan 2021 perlu menjadi pemangkin kebangkitan Johor dalam segenap aspek. Berjaya melawan COVID-19 bukan hanya melalui PKP atau darurat. Berjaya melawan COVID-19 bukan hanya mengelak daripada dijangkiti virus ini, sebaliknya berjaya melawan COVID bermakna kita berjaya mengekang penularan virus dan berjaya mengembalikan cara hidup yang produktif, ekonomi yang mampan, berdaya saing dan kehidupan yang bahagia.
Mahkota merasakan bahawa penubuhan sektor pertanian adalah satu langkah yang amat bertepatan dengan situasi sekarang. Sektor pertanian merupakan sektor yang paling stabil sekarang ini. Mengikut statistik 2019, sektor pertanian hanya menyumbang 12.2% atau RM16.4 bilion kepada ekonomi Johor berbanding 51.1% atau RM68.5 bilion sektor perkhidmatan tetapi permasalahannya, bila kita melihat apa yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor semalam, memperkatakan bahawa 58% keluasan tanaman nanas di Malaysia adalah di negeri Johor. Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas akan meningkatkan pengeluaran nanas negara dengan peruntukan sebanyak RM19 juta. Kita mengharapkan satu peningkatan dari segi pulangan kepada kerajaan, pada rakyat tapi jumlah yang diperuntukkan amat rendah, RM19 juta, kalau kita kiralah, untuk makluman Puan Timbalan Speaker, untuk membiayai satu ekar nanas daripada mula tanam sampai kepada penghasilan, daripada figure yang saya perolehi lebih kurang dalam 40,000. 40,000 RM19 juta, baru lebih kurang 400, 500 ekar sahaja. Takkan negeri Johor bangunkan sebuah projek 400 ekar dengan dibiayai daripada kerajaan pusat. Bila nak capai kejayaan yang besar? Ini kita nak lihat, memang figure banyak RM19 juta, is very big tapi impaknya, mana?
Ini tak termasuk lagi kalau lain-lain kawasan seperti ada sahabat-sahabat ADUN mengatakan bahawa ada kawasan yang tidak dikerjakan dan sebagainya dan banyak juga kegiatan-kegiatan sektor-sektor yang telah diberikan peruntukan yang banyak tetapi tidak memberikan kesan yang baik kepada rakyat, tidak siapakah sebenarnya yang terlibat dalam tiap-tiap aktiviti yang telah diberikan peruntukan kepada rakyat pada sekarang ini. Industri ternakan daging, ruminan, unggas, potensi besar tetapi siapa yang control sekarang? Bukan di kalangan rakyat adalah dari kalangan kartel-kartel yang memegang hampir keseluruhan kegiatan pertanian di Malaysia sekarang ini. Sebab itu, bila kerajaan peruntukkan berapa banyak juga jumlah wang tetapi akhirnya segala-galanya akan gagal, tidak akan dapat menepati kehendak kerajaan yang melaksanakan projek-projek berkenaan. Saya tidak pandai bercakap nak menunjukkan cara-cara yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya kita ada 56 wakil di sini dapat berfikir ke mana arah negeri Johor nak membawa bidang pertanian. Kalau bercakap dalam Dewan dengan secara gah dan kebolehan masing-masing dengan tidak memberi kesan saya rasa it is not the right place untuk bercakaplah. Kaedah mentor dan mentee, saya rasa ini satu kaedah yang agak baiklah. Ada yang telah berjaya, orang berjaya inilah membimbing mereka-mereka yang belum berjaya tetapi adakah kaedah ini ada dijalankan sekarang? Atau pun boleh beri satu petunjuk, satu contoh di mana, kumpulan mana yang melaksanakan perkara-perkara yang sebegini? Saya agak tertarik dari segi isu FELDA lah kerana baharu-baharu ini ada peruntukan sebanyak lebih kurang RM1 bilion diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan kepada FELDA untuk melaksanakan seperti apa yang ada tercatit dalam infografik persembahan Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam dari segi FELDA iaitu Program Pembangunan Peneroka. Saya nak bacakan sedikit satu kenyataan, Program Pembangunan Peneroka mula disebut semasa pembentangan kertas putih FELDA yang dulu. Sebanyak RM1 bilion, saya nak tahu bila kerajaan negeri Johor ataupun pembentangan bajet semalam telah dinyatakan bahawa FELDA ada terlibat telah bersama-sama membangunkan negeri Johor, di Rancangan mana peruntukan ini akan disampaikan? Siapa yang hendak laksanakan? Peneroka, Generasi Ke-2, Koperasi dan sebagainya. Jadi, supaya kita lebih khusus untuk membolehkan bahawa apa yang kita berikan, apa yang ingin kita capaikan akan dapat kita terima bila sampai pada masa, hasil-hasil yang akan dikeluarkan.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, ekonomi dalam negeri juga perlu disuburkan. Dalam pemahaman mudah membantu ekonomi rakyat, memastikan rakyat mempunyai kuasa membeli atau pendapatan walaupun ketika pandemik tetapi sekarang jadi masalah. Saya ini tinggal di Kluang, satu bandar yang memang maju, pelbagai bangsa tinggal di sana dan yang kita lihat dalam keadaan penduduk tempatan tidak ada kerja tetapi warga-warga asing boleh bekerja dan mendapat pendapatan yang agak lumayan. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Tidakkah boleh sekarang kita perketatkan satu peraturan warganegara asing, kamu boleh duduk di Malaysia untuk buat masa sekarang waktu pandemik kamu hanya bekerja di bahagian perladangan dan pembinaan. Ini tidak, isi minyak dekat pam pun masih dia lagi dan kerja-kerja yang mudah. Saya agak malu kalau perkara ini berterusan tetapi rakyat kita seperti yang dinyatakan bahawa ada yang duduk di Singapura jadi gelandangan. Rakyat luar negeri duduk Malaysia ada yang gelandangan, saya pun tak nampak, rakyat Malaysia jadi gelandangan ada. Sebab itu dekat sini pula ada satu infografik Johor Berkebajikan, Program Com, cari orang memerlukan bantuan, tak payah cari memang jumpa, jalan sahaja di mana-mana kita akan jumpa orang memerlukan bantuan, apa ini? Tumpuan kepada masyarakat bandar, luar bandar, FELDA, ladang, kawasan pendalaman di negeri Johor. Tak payah cari, you datang Kluang dekat Flat Haji Manan, nak cari 50 orang pun ada dekat bawah itu. Ini semua orang susah, bukan orang senang, kita duduk sini senang.
Menurut Rancangan Tempatan Daerah Kluang 2030, penggantian yang kini dalam proses publisiti dan penyertaan awam telah menggariskan teras ketiga Kluang berdaya huni dan komuniti eksklusif. Kluang akan menjadi sebuah bandar, dormitori ataupun pusat perumahan untuk kawasan sekitarnya. Masalahnya, rumah-rumah bila sampai Bumiputera punya, memang mahal, tak payah B40 memang tak mampu nak beli dalam keadaan sekarang. They can’t afford to buy, dia tak boleh buat pinjaman di bank. Macam mana kita nak membentuk satu masyarakat, kebersamaan dalam sebuah bandar macam di Kluang. Kalau masyarakat B40 tak mampu membeli rumah, kerana banyak kekangan-kekangan bukan sahaja dari segi pinjaman, dari segi kaedah pemaklumannya pun agak susah dan sukar untuk difikirkan.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, ini tentang Majestic Johor, saya merayulah walaupun telah dibuat keputusan bahawa cuti kita Friday, kita nak galakkan apa itu tourist, kita nak menggalakkan kita ini berkeluarga dalam keadaan yang selesa dan kerana melalui pelancongan ini juga akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Cuti yang tidak selaras sebenarnya memberi kesan kepada sektor pelancongan. Ini cuba fikirkanlah, saya cuma merayu sahajalah untuk kepentingan sejauh mana benda ini boleh memberi kebaikan atau pun tidak. Cuma kerajaan sekarang di bawah pimpinan yang baru kerana kalau ada hal cuti Ahad kerana semua orang dapat bersama-sama dan cuti-cuti kalau tak nanti ada separuh Friday, separuh Sunday, kemudian lagi satu dari segi insentif percutian perlu diberikan kepada golongan kurang kemampuan. Ini yang mampu sahaja dia pergi makan angin dapatlah, yang tak mampu tak dapat apa-apalah. Mengapa tidak lebih terbuka seluruh rakyat boleh dapat dalam bentuk yang berlainanlah.
Kemudian peruntukan RM5 juta untuk membangunkan dan menaikkan taraf prasarana pelancongan negeri Johor perlu mengambil kira kemahuan rakyat, permintaan dan pulangan pada ekonomi. Jangan seronok-seronok, syok-syok sendirilah kerana saya ambil contoh dekat Kluang pun ada, ini bukan saya nak memburukkan mana-mana pihak, benda dah berlaku, berlaku tetapi jadikan pengajaran. Sebuah extreme park dibina di Kluang sampai sekarang tak guna. Itu contoh, saya tak akan menuduh siapa-siapa melibatkan sebenar cuma saya minta ke depan, kita ini bersama duduk dalam ini, sama-sama bertanggungjawab, kerajaan ke, pembangkang pada saya kita sama. Jadi kalau ini satu contoh di tempat YB-YB yang lain, saya ingat sama sahajalah.
Mahkota bersetuju adalah kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan kepada rakyat. Wang tersebut akan digunakan semula untuk menjana ekonomi apabila digunakan pembelian barangan dan perkhidmatan. Cuma kadar-kadar, Mahkota mencadangkan peruntukan pemberian wang tunai one-off RM300.00 selama dua bulan dinaikkan RM500.00 diluaskan kepada golongan B40 dan bukan hanya kepada senarai e-Kasih. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan ramai rakyat, oleh itu pemberian perlu diberikan kepada golongan yang paling terjejas iaitu B40. Bantuan tunai RM200.00 kepada 17,000 individu terjejas hendaklah dipanjangkan tempoh pendaftaran, jangan 14 hari, is too short. Pemandu e-hailing dan penghantar makanan, tadi pun ada disebutkan saya ingat, cuma saya nak mencadangkan akan berikan macam some sort macam insurans tambahan untuk melindungi mereka, dia orang naik motor ini selalu accident, kesian ada keluarga, ada anak, kalau meninggal dah tinggalkan anak tiga, empat orang, menjanda 30 tahun, menjanda 10 tahun. Begitu juga dengan pemandu teksi, kita dapat berikan perhatian yang lebih kerana banyak teksi-teksi di Kluang ini banyak tidak bergerak. Pendapatan mereka memang terjejas.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, Mahkota mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah meminta Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan lalu kerana mewariskan sumber-sumber yang mencukupi. Dalam keadaan sekarang, tentunya kewangan-kewangan yang terdahulu dapat kita gunakan sekarang. Lazimnya, kita nak melihat supaya tidak ada berlaku pembaziran dan pembangunan yang kita lakukan hendaklah kita lihat dari segi kepentingan bagi tiap-tiap PBT dan juga pejabat-pejabat yang kita uruskan dari hari ke hari. Oleh itu, senarai yang diluluskan yang tidak selari dengan kehendak rakyat hendaklah kita fikirkan kerana kadang-kadang banyak projek. Saya ingat saya antara Wakil Rakyat jarang-jaranglah dipanggil untuk berundinglah dalam tiap-tiap apa juga perancangan-perancangan yang dibuat.
Mahkota mencadangkan satu mekanisme dibuat agar setiap projek yang ingin dilaksanakan perlu dibincang dan perlu mendapat maklum balas daripada ADUN kawasan tersebut. Mekanisme ini juga sekurangnya dapat memaklumkan ADUN mengenai projek yang akan dilaksanakan agar mudah diberikan penerangan kepada penduduk setempat. Oleh itu, Mahkota mencadangkan sebuah portal yang boleh diakses untuk melihat semua projek pembangunan yang akan dilaksanakan, status dan syarikat yang melaksanakan. Melalui portal ini juga ADUN-ADUN boleh menyalurkan maklumat permohonan dikemukakan kepada pejabat mereka.
Saya nak membangkitkan juga kerjasama dengan syarikat korporat dan persatuan NGO. Program CSR, tajaan, sponsorship perlu digalakkan dan dipermudahkan. Program-program CSR, tajaan seperti gotong-royong, pembersihan, perkhidmatan kepada rakyat dapat meringankan bebanan kewangan yang perlu ditanggung oleh PBT ataupun agensi kerajaan. Di waktu pandemik ini, pihak korporat, GLC dan GLIC tolong-menolong dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas walaupun terdapat pemotongan peruntukan. Galakan-galakan Program CSR dan tajaan ini merupakan manifestasi kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat korporat, persatuan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang melaksanakan. Saya ambil sebagai contoh, Projek Johor Free Wifi 2.0, jumlah kos RM10 juta selama 5 tahun. Boleh ditanggung oleh gabungan syarikat komunikasi yang beroperasi di negeri Johor. Kita takkan tak boleh, government tak boleh bincang dengan mereka?
YB, sila gulung.
Jadi, untuk ini dapat kita fikirkan yang terbaiklah. Saya ada dua tiga perkara juga tambahan lagi tapi sebenarnya tak apa, saya akan salurkan cara yang lainlah. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan
Speaker kerana telah membenarkan saya untuk menyampaikan hujahan saya pada kali ini. Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Ahli-Ahli Yang Berhormat saya tangguhkan persidangan ini selama 20 minit dan persidangan ini akan disambung pada pukul 4.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.40 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 4.00 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan disambung semula. Yang Berhormat Bentayan, jemput. Oh, sorry. Yang Berhormat Jementah, jemput.
Yang Berhormat Speaker, terlebih dahulu ingin saya merakamkan penghargaan saya setinggi-tingginya kepada barisan hadapan di dalam semua lapisan masyarakat dan sektor yang telah mengorbankan masa dan nyawa mereka untuk memastikan kita mempunyai satu suasana yang selamat daripada pandemik COVID19. Ribuan terima kasih barisan front liners.
Memang benar, bukan sahaja tanah air kita sedang melalui suasana yang unprecedented, keadaan yang mencabar dan tidak menentu kerana pandemik ini. Yang mana di dalam teks ucapan Belanjawan 2021, Yang Amat Berhormat telah membangkitkan kesan-kesannya ke atas negeri Johor. Persoalannya, apakah kita telah bersedia mengharunginya dan menerima cabarannya agar impak dan kesan pandemik dapat diminimumkan ke atas warga Johor dan ekonomi negeri Johor? Suasana tanah air kita bukan sahaja berlatar belakang suasana tidak menentu disebabkan oleh pandemik tetapi juga isu kestabilan politik.
Kerajaan boleh menggariskan perancangan, meluluskan perbelanjaan, mengagihkan peruntukan tetapi sekadar mana ia akan memberi hasil yang dirancangkan atau yang diniatkan. Kata kuncinya perlu, wajib, mandatori, ada perubahan minda dan perkataan perlaksanaan polisi perancangan untuk menyesuaikan dan menerima keadaan yang unprecedented ini oleh pimpinan kerajaan.
Yang Amat Berhormat ada menyentuh pimpinan Yang Amat Berhormat melalui real test of leadership dan diikuti dengan kata-kata “and I believe, we will collectively overcome it”.
Yang Berhormat Speaker, kita boleh melihat apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac, NGO-NGO, persatuan-persatuan dan organisasi-organisasi telah turut memainkan peranan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan bangsa. Ini adalah semangat yang kita merasa amat ampuh sebagai warganegara Malaysia. Yang Amat Berhormat ada menegaskan keperluan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta, pemimpin-pemimpin komuniti setiap rakyat Johor, malah ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang di dalam suasana pada hari ini. Apakah pimpinan Yang Amat Berhormat bersedia menjadi contoh kepada kerajaan negeri yang lain dengan mengambil satu unprecedented move dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri daripada kerajaan dan pembangkang untuk meneliti, merancang, menangani isu-isu berbangkit akibat pandemik ini termasuk ekoran daripada penutupan sempadan, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lain-lain keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara di peringkat persekutuan.
Di saat yang genting ini pimpinan kerajaan seharusnya menggunakan kesemua sumber dan tenaga yang sedia ada untuk menangani kesan pandemik ini. Pihak kami, pembangkang ini mewakili 27 kerusi lebih kurang 50% suara warga Johor. Peruntukan tambahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dari pembangkang yang diumumkan memang dapat memanfaatkan pengundi-pengundi kawasan kami di mana aduan-aduan dan keperluan
mereka dapat diambil tindakan tanpa melalui birokrasi pentadbiran negeri. Tetapi ini tidak mencukupi. Yang Amat Berhormat mesti bersedia mengetepikan perbezaan politik dan menerima pandangan pihak kami untuk bersama-sama mengharungi cabaran pandemik ini.
Yang Berhormat Speaker, salah satu strategi pemulihan ekonomi Johor yang telah dibangkitkan di dalam ucapan Yang Amat Berhormat adalah melalui Agenda Jaminan Bekalan Makanan negeri Johor iaitu sektor pertanian dan industri makanan di Johor diberi penekanan. Menurut statistik terdapat lebih kurang 72,083 orang petani di negeri Johor yang hanya dapat mengusahakan 17,855 hektar tanah di mana lebih kurang 60% daripada petani tidak mempunyai tanah milikan sendiri. Selain gerakan dalam bentuk insentif, inisiatif di bawah strategi Johor dan pengurangan 50% daripada ubah syarat, kerajaan seharusnya mengambil kesempatan ini untuk menarik minat lebih ramai anak muda terhadap bidang pertanian serta mengekalkan mereka yang sedang di dalam bidang pertanian ini dengan memberi keizinan dan sokongan kepada mereka untuk mengerjakan tanah terbiar yang sesuai untuk pertanian dan tidak menimbulkan isu-isu alam sekitar. Petani-petani yang sedia ada dan bukan mengusahakan tanah milikannya sentiasa di dalam kerisauan untuk melabur dan menaik taraf sistem perparitan atau menerima pakai teknologi yang terkini untuk mengoptimumkan hasil tanamannya. Pada masa inilah jika kerajaan benar-benar ikhlas ingin membantu para petani untuk jangka masa panjang dan menjayakan agenda kerajaan ini, isu ketiadaan tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian, penternakan harus ditangani dengan serta-merta. Ini bukan masalah yang baru tapi telah sedia ada sepanjang masa ini.
Apakah sepanjang masa ini kerajaan ada meluluskan apa-apa tanah terbiar kepada individu-individu untuk tujuan pertanian? Ini soalannya. Tetapi saya mengingatkan kerajaan agar tidak sekali sekala mengambil peluang ini pula untuk menghalau individu-individu yang sedang mengerjakan tanah terbiar kerajaan atau agensi kerajaan dan melabel mereka sebagai penceroboh tanah milikan kerajaan dan kemudiannya meluluskan kepada pihak yang lain. Tambahan, saya turut dimaklumkan bahawa terdapat petani yang mengalami kesulitan untuk mendapatkan kelulusan di dalam permohonan sijil-sijil pengiktirafan seperti MyGAP dan MyOrganic kerana mereka bukan pemilik atau penyewa tanah. Ekoran itu, tanpa sijil berkenaan, timbul isu pemasaran produk-produk mereka.
Selanjutnya, peruntukan berkenaan RM6 juta untuk kawasan tanaman seluas 2,168 hektar berkenaan. Apakah ia untuk perbelanjaan pengusaha dalaman atau industri yang sedia ada ataupun ia adalah satu bentuk galakan kepada individu untuk membangunkan tanah pertanian mereka yang telah terbiar? Saya turut tertarik dengan Agenda Jaminan Bekalan Makanan negeri ini yang menyatakan hasrat kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian tetapi persoalannya yang ingin ditanya, adalah adakah ia satu agenda masa panjang? Bukan sahaja memainkan peranan untuk ketahanan ekonomi sebagai pengeksport yang menjana hasil tetapi juga menjana bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat kita sendiri agar penggantungan bekalan makanan kepada import sebanyak 30% dapat dikurangkan dan memenuhi bekalan makanan sendiri dengan konsep self sufficient.
Yang Berhormat Speaker, saya menyambut baik pemahaman kerajaan bahawa penerimaan agenda digital adalah satu kewajipan dan keperluan dan bukan kemewahan atau pilihan ekoran penularan pandemik COVID-19 ini. Cabaran dan rintangan yang dibawa pandemik ini patut dijadikan satu kesempatan dan tolakan kepada pemimpin kerajaan, sektor awam, swasta dan setiap lapisan masyarakat mengubah cara kerja. Pendekatan perniagaan dan memasarkan produk mereka di dalam ucapan Yang Amat Berhormat ada memberi jaminan bahawa dalam tahun hadapan agenda ini dapat diperluaskan atau dicapai di mana perlaksanaannya akan memanfaatkan rakyat Johor.
Sektor awam adalah antaranya jentera pelaksana polisi perancangan pembangunan kerajaan negeri. Sistem penyampai sektor awam juga adalah satu faktor pertimbangan pelabur selain kestabilan politik dalam negara. Oleh itu, sektor awam patut dijadikan perintis atau pemimpin Agenda Johor Digital. Apakah kesediaan sektor awam bergerak ke arah Agenda Digital Johor ini? Apakah jenis program yang dirancangkan di bawah Program Penggalakan dan Promosi Perkhidmatan Digital dengan peruntukan RM700,000.00 berkenaan. Tambahan itu, peruntukan RM700,000.00 yang lain pula untuk Program Pemantapan Kemahiran dan Pembangunan Bakat dalam bidang IT, kumpulan penjawat awam peringkat mana dan berapa orang yang akan dilantik atau akan mendapat manfaat daripadanya.
Sejak pandemik ini, ada di antara jabatan kerajaan telah memendekkan waktu urusan di kaunter, mengurangkan kapasiti kakitangan hadir untuk bekerja di pejabat di mana saya percaya telah secara tidak langsung melambatkan kelancaran sistem penyampaian. Malahan, saya percaya ia turut mengganggu sistem kutipan hasil oleh kerajaan negeri melalui urusan di kaunter. Saya turut percaya jika peruntukan di bawah program ini betul-betul digunakan seperti yang dirancangkan ia bukan sahaja dapat menambah nilai sistem penyampaian tetapi juga mengurangkan keluhan orang ramai terhadap kelewatan mengambil tindakan terhadap aduan dan permohonan dan masa menunggu. Norma baharu hendaklah dijadikan peluang untuk memperbaiki menambah nilai perkhidmatan sektor awam kepada orang ramai.
Yang Berhormat Speaker, sebelum pandemik tidak kurang daripada 400,000 warga Malaysia bekerja di Singapura. Kesan daripada pandemik ini dan penutupan sempadan, saya percaya tidak kurang juga rakyat Johor yang bekerja di Singapura kehilangan kerja mereka. Ada di antara mereka perlu mengekalkan kerja mereka tidak dapat pulang ke Malaysia untuk melawat isteri dan anak mereka ataupun ibu bapa mereka. Sementara itu, ada yang memilih untuk kembali ke Malaysia sebelum penutupan sempadan agar dapat bersama keluarga mereka. Apakah kerajaan mempunyai apa-apa perancangan untuk mengambil kesempatan ini untuk menarik balik dan mengekalkan tenaga kerja ini di dalam negeri Johor? Saya turut tertarikh dengan jawatankuasa yang dikatakan ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk menambah baik pangkalan data rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Saya ingin tahu apakah data yang dikumpulkan dan tujuannya kegunaannya?
Yang Berhormat Speaker, perkhidmatan seperti bekalan air, elektrik dan jalur lebar adalah keperluan asas. Saya akan menyentuh isu bekalan air di mana Yang Amat Berhormat turut menyatakan komitmennya untuk membekalkan kualiti air bersih kepada rakyat Johor. Menurut statistik dalam Laporan Ekonomi Negeri Johor 2018 - 2019, penggunaan air di negeri Johor telah meningkat dengan ketara setiap tahun. Contohnya, penggunaan 479 juta meter padu pada tahun 2018, 2017 ke 501 juta meter padu tahun 2018. Peningkatan penggunaan air yang ketara ini adalah selaras dengan peningkatan jumlah populasi dan pembangunan pesat sektor perindustrian di negeri Johor. Untuk memastikan bekalan air terawat adalah memadai dengan peningkatan penggunaannya, kecekapan pengurusan bekalan air mentah adalah amat penting supaya air mentah dapat dirawat dan disalurkan kepada pengguna-pengguna tanpa menimbulkan masalah bekalan air terawat terganggu.
Dalam Belanjawan 2021 beberapa inisiatif telah diumumkan untuk memperkasakan pengurusan sumber air mentah, selain daripada menaik taraf BAKAJ kepada Lembaga Pengurusan Air Johor, menaik taraf barrage Sungai Johor dan lain-lain. Antaranya yang amat penting pada pendapat saya adalah pemasangan sistem pemantauan atas talian dan penggunaan teknologi Johor Special dengan perbelanjaan sebanyak RM1.7 juta untuk memantau pencemaran dan kualiti air sungai-sungai yang membekalkan air mentah kepada loji-loji rawatan air. Penggunaan teknologi moden ini untuk memantau, untuk pemantauan pencemaran air sungai seharusnya dimaksimumkan dengan sebaik-baiknya sebagai langkah preventive untuk membolehkan pihak BAKAJ mengambil tindakan dengan segera
sekiranya berlaku pencemaran dan tidak menjejaskan bekalan air mentah ke loji-loji rawatan air yang boleh mengakibatkan penutupan loji-loji rawatan air dan bekalan air terawat ke pengguna-pengguna terputus.
Saya ingin mencadangkan bahawa sistem pemantauan atas talian ini diperluaskan kepada semua sungai-sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air di negeri Johor. Bagi memastikan kelestarian bekalan sumber air mentah juga terdapat beberapa cadangan pembinaan fasiliti-fasiliti bekalan air yang telah dirancangkan oleh kerajaan sebelum ini. Yang pertama, pembinaan Loji Rawatan Air Kahang dengan anggaran kos RM125 juta untuk merawat air mentah daripada Empangan Kahang. Yang kedua, pembinaan barrage Sungai Johor, Sungai Muar, maaf sebagai langkah mengatasi kemasukan air masin ke loji rawatan. Dan yang ketiga, pembinaan Empangan Sedili Besar dengan kos sebanyak RM300 juta. Yang keempat, projek penyaluran air mentah melalui paip sejauh 160 kilometer berserta sistem pam dari Sungai Endau ke Empangan Sedili Besar dengan kos RM2.2 bilion. Keempat-empat ini Jementah memohon kerajaan negeri memaklumkan status terkininya dalam Dewan yang mulia ini. Tidak kurang juga statistik gangguan bekalan air di negeri Johor dan kawasannya serta jangka masa pendek mengelakkan dan mengurangkan dan perancangan jangka masa panjangnya.
Yang Berhormat Speaker, sebanyak RM4.2 juta dicadangkan diperuntukkan untuk inisiatif perpaduan kaum dan komuniti. Inisiatif kelima yang dinyatakan adalah melibatkan penubuhan satu Jawatankuasa Task force Masyarakat India bagi meneliti dan menyelesaikan isu-isu tertangguh kaum India. Saya memberikan sokongan kepada hasrat dan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh di kalangan kaum India. Setakat ini apakah isu yang dikenal pastikan oleh kerajaan negeri? Sejauh mana kerajaan persekutuan memberi kerjasama untuk mengatasi isu-isu yang di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Apakah komposisi ahli-ahli jawatankuasa task force ini dan apakah NGO turut dilibatkan bersama di dalam task force ini serta amaun yang diperuntukkan?
Yang Berhormat Speaker, pandemik ini turut menjejaskan sumber pendapatan keluarga, ada di kalangan suri rumah tangga dan juga wanita yang bekerja turut membuat kerja sambilan untuk membantu menyara sara hidup dan keperluan keluarga. Oleh itu, facebook group kini menjadi antara platform memasarkan produk. Menerima tempahan masakan, hasil kerja tangan mereka. Di dalam aspek ini, apakah inisiatif di bawah peruntukkan RM2.3 juta dapat dihulurkan untuk membantu mereka mengharungi cabaran kesempitan kehidupan di dalam tempoh ini? Seterusnya, menurut satu sumber NGO di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan terdapat peningkatan aduan kes keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Berapakah aduan yang diterima oleh PDRM negeri Johor dan talian kasih negeri sejak PKP sehingga kini?
Yang Berhormat Speaker, akhir kata setiap tahun terdapat penemuan kelemahan pengurusan peruntukkan perbelanjaan dilaporkan di dalam laporan audit. Perancangan yang telah digariskan akan memberi hasil atau memanfaatkan golongan yang disasarkan adalah bergantung kepada kemampuan jentera pelaksananya. Memang benar ada faktor ekonomi global di luar kawalan pimpinan kerajaan tetapi di dalam pengurusan kewangan negeri apa-apa pun peruntukan yang diluluskan di Dewan ini kerajaan sentiasa harus bersikap tanggungjawab untuk memastikan ketiadaan ketirisan, kebocoran dan accountable kepada warga Johor.
Yang Berhormat Speaker, terima kasih atas keizinan untuk saya berucap dalam perbahasan Belanjawan 2021 ini. Saya berharap semua peruntukkan, semua kerja baik, semua usaha kita pada Belanjawan 2021 ini dapat dimanfaatkan kepada warga Johor secara keseluruhannya. Dengan ini, saya mengucapkan terima kasih. Sekian.
Seterusnya Yang Berhormat Senggarang. Jemput
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah.
Yang Berhormat Puan Speaker, terima kasih kerana telah memberi peluang untuk Senggarang berucap dalam Dewan yang mulia Dewan Undangan Negeri Johor pada kali ini. Senggarang memulakan ucapan ini dengan luahan rasa prihatin Senggarang terhadap kumpulan barisan hadapan yang sedang berjuang melawan musuh bersama negara iaitu COVID-19. Syabas dan terima kasih di atas segala pengorbanan dan gerak usaha mereka yang bertungkus lumus bagi memastikan kesejahteraan negara terus terpelihara. Luahan simpati ini juga adalah luahan daripada hati seluruh warga kawasan DUN Senggarang. Senggarang juga mengucapkan takziah kepada waris-waris dan keluarga mereka yang terkorban oleh serangan COVID-19 ini. Sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak seumpama COVID-19 dianggap sebagai mati syahid. Sebagaimana yang telah difahami daripada hadis-hadis yang sahih, insya-Allah.
Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang juga ingin meluahkan rasa simpati terhadap rakyat negeri Johor bahkan seluruh Malaysia yang terkesan oleh pandemik COVID-19 ini. Seperti yang kita maklum, ada di antara mereka yang hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan, ada yang terpaksa tutup kedai kerana ketiadaan pelanggan. Ini adalah secebis gambaran fenomena kesusahan yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini. Semoga Allah SWT akan mengangkat ujian pandemik COVID-19 ini dengan kadar yang segera, insya-Allah.
Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2021. Terima kasih di atas peruntukkan RM150,000.00 kepada kami daripada ADUN-ADUN pembangkang dan kalau boleh lebih sikit lagi, insya-Allah.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam perbahasan kali ini Senggarang ingin menyentuh tiga perkara iaitu pertama, sektor perhutanan, kedua, sumber air bersih dan ketiga iaitu perbandingan dalam beragama. Dalam suasana keluh kesah rakyat, ketika ini Senggarang meneliti suatu fakta yang terdapat dalam buku Belanjawan 2021 yang dirasakan bertentangan dengan apa yang Senggarang percayai selama ini. Semua rakyat beranggapan sumber pendapatan negeri Johor ini sebahagiannya ditampung, sebahagian besarnya melalui hasil-hasil bumi seperti kayu balak, pasir, batu batan dan lain-lain mineral. Hakikat sebenar yang berlaku sekarang tidak seperti yang kita tanggapi.
Setelah Senggarang membuat semakan, buku Belanjawan 2021 Senggarang mendapati belanja emolumen dan penyelenggaraan Jabatan Perhutanan Negeri Johor lebih RM17 juta sementara kutipan cukai hasil balak hanya sekitar RM7 juta setahun. Mengikut semakan laman web yang Senggarang buat semakan Jabatan Perhutanan Negeri Johor yang dulu-dulu, yang lepas. Hasil hutan 2008 sahaja adalah RM26 juta, maknanya susut dah jauh. Dengan perkataan yang lain, Jabatan Perhutanan Negeri Johor bukan lagi sebagai penyumbang hasil kepada kerajaan negeri sebaliknya ia menjadi liabiliti atau bebanan kepada rakyat negeri ini yang terpaksa menampung RM10 juta untuk biayai pengurusan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang telah membuat beberapa komentar sebelum ini. Di mana berlaku ketirisan dalam keseluruhan proses pengeluaran hasil hutan iaitu bermula dengan proses pengurniaan sesuatu kawasan pembalakan, pengeluaran lesen
pembalakan, mengukur persempadanan, penebangan kayu, pembayaran cukai dan sebagainya. Penggunaan kawasan pembalakan hanya terhad kepada golongan tertentu sahaja dan tidak dilakukan secara tender yang terbuka. Sebagai contoh, di atas nama Bumiputera, kerajaan memperuntukkan Skim Kurniaan Kuota kepada kilang. Kilang papan Bumiputera di mana Bumiputera yang memiliki kilang-kilang tersebut hanyalah sebahagiannya adakala ia penama sahaja dan hanya mengambil dalal sedangkan semua operasi dilakukan oleh bukan Bumiputera. Pengurniaan kawasan pembalakan kepada pihak tertentu atas tiket Bumiputera juga menjadi persoalan. Mereka yang mendapat konsesi akan menjual kawasan pembalakan mereka kepada pihak lain yang kebanyakannya bukan Bumiputera. Pengurniaan kawasan dan operasi penebangan hutan juga dilakukan dengan tiada berperaturan, menurut maklumat yang Senggarang perolehi berlaku kes-kes tolak ansur yang merugikan pihak kerajaan, sempadan boleh di laras ke kawasan yang lebih padat kandungan kayunya dan sebagainya. Pembalak bukan sahaja menebang pokok yang bertanda tapi pokok-pokok lain juga habis ditebang tidak mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) selaras dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan. Ada kes-kes tertentu, di mana perdu atau pangkal pokok tak bertanda tersebut ditimbus telah ditebang bagi mengelakkan bukti rekod penebangan penuh dengan penipuan.
Yang Berhormat Puan Speaker, semasa mengukur kayu balak untuk membayar cukai, pembayar cukai hanya mencatat saiz-saiz kayu kecil atau disebut sebagai kayu jaras bagi menggantikan kayu bersaiz besar dalam borang-borang percukaian sehingga dikatakan pembalak-pembalak tersebut hanya membayar kurang 20% dari jumlah cukai sebenar yang sepatutnya dibayar dalam setiap muatan lori pengangkut kayu balak. Terdapat kes-kes di mana pembalak langsung tidak membayar cukai atau dalam istilah pembalakan cukai terbang.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya maklum pada 24 November terdapat isu di mana Ketua Polis Johor, Dato’ Ayub telah turun ke kawasan Hutan Lenggong untuk menyiasat dakwaan-dakwaan kecurian kayu-kayu balak. Tahniah kepada mereka yang diketuai oleh Ketua Polis Johor. Ada sesetengah pengusaha yang berkesedaran telah melakukan penangkapan ke atas lori-lori balak yang membawa muatan tidak bercukai. Begitu juga tangkapan kepada kilang-kilang papan yang membeli kayu-kayu yang tidak bercukai. Tetapi berakhir dengan tindakan ala kadar sahaja dan saya harap perkara ini diambil serius oleh pihak yang berkuasa.
Senggarang sendiri telah membuat aduan kepada SPRM tetapi setakat ini tiada tindakan malah seolah-olah ada kesefahaman di antara mereka sehingga aduan tersebut dipandang sepi berlalu begitu sahaja. Senario di atas yang telah menyebabkan Jabatan Perhutanan Johor bukan menjadi penyumbang hasil negeri mungkin, tetapi telah menjadi bebanan dengan mengambil sebahagian wang pembayar cukai rakyat Johor. Bayangkan perbelanjaan mengurus jabatan hutan berjumlah RM17 juta lebih, sedangkan kutipan cukai yang dipungut dari hasil hutan 2021 akan datang hanya RM7 juta sahaja dan pada tahun ini sahaja saya mendapat jawapan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa setakat hari ini 2020, pungutan hanya RM6 juta sahaja. Jadi lebih RM10 juta duit rakyat kita terpaksa tampung dan berjuta-juta lagi hasil-hasil cukai hilang yang disebabkan perlakuan yang tidak bertanggungjawab yang diberi amanah. Secara ringkas, Senggarang ingin mencadangkan beberapa pembaharuan dalam urusan hasil hutan negeri ini, perinciannya, perinciannya cadangan tersebut bolehlah difikirkan oleh pihak-pihak pengurusan yang terlibat.
Cadangan Senggarang adalah seperti berikut : pertama, kurniaan kawasan balak mesti dilakukan secara tender yang terbuka. Kedua, pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kekal hendaklah di kalau boleh dihentikan. Saya faham, saya ada buat soalan dengan jawapan dalam Dewan pada 10 September 2020 bahawa keluasan hutan simpan kekal adalah 408,300 hektar yang meliputi lebih kurang 21% kawasan tanah negeri Johor
dan peningkatan 12.3% berbanding 20 tahun dahulu iaitu seluas 358,096 hektar pada tahun 2000. Makna ada peningkatan laporan jawapan yang saya terima. Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh Senggarang ialah adakah Hutan Simpan Kekal (HSK) itu termasuk ladang hutan? Kalau tidak termasuk dan Hutan Simpan Kekal itu seperti asal memang yang original, mengapa habitat hutan seperti gajah dan lain-lain habitat mula keluar daripada hutan dan merosakkan harta benda awam dan kadang kala boleh mengakibatkan kematian penduduk.
Dan pada belanjawan kali ini, kalau kita semak semula kerajaan kan turut terpaksa meletakkan peruntukan RM7 juta untuk projek Santuari Gajah (JES) dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Negeri Johor. Maknanya projek santuari RM7 juta hasil pun RM7 juta, jadi Senggarang bersangka baik kan jawapan yang diberi kan ialah saya pun tak nak, Senggarang pun tidak nampak apa yang ada berlaku di dalam hutan belantara tersebut.
Yang ketiga, Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang berharap kawasan hidupan liar, kawasan hidupan liar ataupun habitat dan kawasan mamalia seperti gajah dan sebagainya kan janganlah di diusik, kalau nak diusik pun ikut aturan dan peraturan. Termasuk kawasan yang melibatkan pendudukan Orang-orang Asli, Orang-orang Asal dan juga kawasan-kawasan tadahan air. Yang keempat, Skim Kuota Kilang Papan Bumiputera perlu diaudit dan jika terbukti tiada Bumiputera terlibat secara langsung dalam perniagaan maka dicadangkan dilupuskan dan dihapuskan. Kelima, kalau hendak libatkan Bumiputera juga dalam industri pembalakan ini, hanya pembalak Bumiputera yang tulen sahaja yang wajar diberi kuota mengikut merit.
Keenam, Senggarang mencadangkan supaya Jabatan Perhutanan bersungguh-sungguh menangani isu kecurian dalam kawasan berlesen, pencerobohan dan penerokaan haram kawasan Hutan Simpan Kekal dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. Ketujuh, ukuran sempadan kalau boleh perlu dibuat oleh Juru Ukur bertauliah, bukan seperti yang ada pada masa ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, hasil bumi seperti kayu balak, pasir, batu, granite, hauling dan lain-lain mineral adalah sumber asas hasil kepada kerajaan negeri yang perlu diurus dengan baik lagi-lagi di zaman pandemik COVID-19 ini setiap sen hasil perlu kita pungut untuk kebaikan rakyat. Kayu balak ini merupakan satu sumber yang boleh diperbaharui sebenarnya. Bukan seperti galian, pasir atau lain-lain bila korek dia berkurangan. Hauling, batu batan, batu granite dan lain-lain kalau dikorek ia akan berkurangan. Tetapi kayu balak ini kan, hutan ini, kayu balak kalau diurus dengan baik dia adalah sumber yang boleh diperbaharui berzaman-zaman. Hutan ini kalau diurus dengan baik dan jujur mengikut undang-undang dan enakmen mampu memberi sumber yang bermakna kepada negeri Johor berzaman untuk di generasi yang akan datang. Kegagalan pengurusan akan mendatangkan padah kerana kerajaan pula terpaksa menanggung kos pengurusan seperti yang berlaku pada masa ini. Hutan pupus, muka bumi rosak, air sungai tercemar, kutipan hasilnya sedikit. Kerajaan terpaksa pula berbelanja terhadap kerosakan dan ketirisan yang dilakukan oleh pihak yang tidak beramanah. Senggarang mohon di Dewan yang mulia ini agar kerajaan bertindak sebelum kita menghadapi masalah yang lebih besar di masa akan datang. Peribahasa Melayu, umpan habis, ikan tak dapat ertinya usaha yang membawa kerugian.
Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya Senggarang ingin menyentuh berkenaan pengurusan sumber air. Terima kasih dalam Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar berikrar kerajaan komited untuk menjamin kualiti air bersih demi kelangsungan hidup rakyat Johor. Sekali-sekala kerajaan perlu melihat kawasan saya di Mukim Minyak Beku yang sebahagiannya masih tidak dapat bekalan air bersih sejak merdeka. Hanya baru-baru ini, tahun lepas sebahagiannya telah dapat bekalan air bersih melalui dana CSR, Syarikat Bekalan Air RANHILL Johor sedangkan peruntukan kerajaan dari Kementerian
Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak dapat diperolehi. Saya berusaha untuk mendapat peruntukan daripada KPLB setakat ini belum tercapai dan saya dalam Dewan mulia ini sedia memberi maklumat rasmi kepada kerajaan dan diharap perhatian dan tindakan dapat diambil kali ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, kerajaan negeri melalui BAKAJ memperuntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf Baraj Sungai Johor, ini disebut di dalam Belanjawan. Saya ingin mengemukakan beberapa persoalan. Pertama, setakat mana kerajaan negeri mengkaji kesan buruk jangka panjang selepas pembinaan baraj terhadap ekosistem sungai dan juga sosioekonomi penduduk tepi sungai. Kedua, sejauh mana BAKAJ bekerjasama dengan PUB Singapura untuk operasi baraj ini, maksud Senggarang sama ada wujud campur tangan PUB dalam operasi baraj yang sedia ada. Ketiga, adakah BAKAJ membuat pungutan suara penduduk yang terkesan sepanjang Sungai Johor dan tindakan perlu untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dari sumber pendapatan harian yang biasanya dari sungai.
Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang dalam Dewan yang mulia ini ingin mencadangkan kerajaan supaya mewartakan Chargeman Area, empangan-empangan dalam negeri Johor, kalau tidak diwartakan pencerobohan akan berlaku yang lambat laun air akan tercemar. Maka tidak berguna kita buat empangan kalau kawasan yang di sekelilingnya tidak diwartakan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Senggarang difahamkan BAKAJ juga tidak terlepas mempunyai tanggungjawab terhadap pemulihan sungai-sungai yang ada loji rawatan air. sebagai contoh Sungai Skudai dan Sungai Tebrau dan sungai-sungai yang lain. Dua-dua Sungai Skudai dan Sungai Tebrau tercemar dengan agak yang teruk, tidak wajar tumpuan hanya diberi kepada Sungai Johor sahaja. Sejauh mana setakat ini BAKAJ memainkan peranan terhadap pemulihan sungai. Senggarang sedia maklum dalam laporan-laporan yang Senggarang terima ada peruntukan disediakan untuk tujuan tersebut dari SAJ Ranhill setiap tahun. Setakat mana peruntukan ini digunakan untuk pemulihan sungai? Adalah tidak wajar mengambil hasil air sahaja sedangkan pelihara sumber air diketepikan dan diserah kepada jabatan lain.
Yang Berhormat Puan Speaker, sejumlah RM700,000.00 disediakan untuk sistem talian untuk memantau pencemaran sungai, persoalannya ialah pertama, sejauh mana digunakan untuk manfaat rakyat. Kedua, sejauh mana data-data ini dikongsi bersama dengan universiti atau jabatan yang berautoriti lain untuk kajian baik pulih sungai. Tidak guna kita cakap mengumpulkan data, tetapi lemah dalam penguatkuasaan terhadap pencemar sungai. Senggarang mencadangkan agar pencemar-pencemar sungai seperti kilang-kilang dan sebagainya diambil tindakan hukuman yang berat dan denda yang tinggi dikenakan kepada mereka supaya menjadi pengajaran.
Yang Berhormat Tuan Speaker, semasa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor menjadi EXCO Kerja Raya dahulu, terdapat kajian untuk sumber air bawah tanah. Saya dapat maklum dan saya difahamkan ada dibuat tube well di Lok Heng sana. Jadi, setakat mana saya nak tanya, setakat mana kajian tersebut, sama ada boleh diteruskan atau tidak tentang sumber air bawah tanah, yang mana saya lihat tidak disentuh dalam bajet kali ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam suasana Islamophobia yang sedang berlaku sekarang, terutama di barat, perlu kerajaan mengambil tindakan-tindakan proaktif supaya Islam dapat difahami dari sudut yang betul oleh setiap lapisan rakyat negeri ini, sama ada orang Islam mahupun bukan Islam. Senggarang ingin mencadangkan beberapa perkara seperti berikut: pertama, kerajaan menubuhkan badan pengembangan dakwah Islam yang bertujuan untuk memberi penerangan Islam, terutama kepada, sikit, sikit lagi, seminit saja. Tak dengar saya, minta maaf ya. Untuk memberi penerangan Islam terutama kepada bukan
Islam bagi menghapuskan masalah salah tanggapan mereka terhadap Islam. Kedua, kerajaan perlu melatih sekumpulan agamawan, iaitu ustaz sehingga mereka mahir dalam ilmu perbandingan agama bagi memudahkan pembentukan hubungan antara penganut-penganut pelbagai agama di negeri Johor yang kita cintai ini. Mereka yang dilatih ini perlu mempunyai penguasaan pelbagai bahasa sebagai persediaan untuk menerangkan Islam ke semua pihak bagi menghapuskan sebarang salah tanggapan yang orang bukan Islam fahami selama ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, yang ketiga kerajaan negeri perlu menyediakan pusat-pusat mualaf bagi memberi bimbingan yang betul dan membantu mualaf yang menghadapi kesukaran setelah penghijrahan mereka. Mereka para mualaf perlu dibantu sekadarnya, malah sehingga mereka mampu berdikari semula. Saya kira tidak salah kiranya kerajaan menghantar pelajar-pelajar atau student untuk bahagian Theology sehingga ke universiti Jerussalam atau di Israel sana ataupun di Tibet dan sebagainya demi untuk memahami ilmu sesuatu agama dengan lebih mendalam, dengan tujuan untuk membina kesefahaman penganut-penganut agama yang beragama di negeri Johor yang kita cintai ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, rakyat Malaysia amnya dan Johor khususnya mesti keluar daripada pemikiran racist dan keagamaan jalur keras yang tidak menitikberatkan soal rahmatan lil alamin. Sudah sampai waktunya segala masalah perlu dibincangkan secara telus. Untuk itu, perlu semua lapisan rakyat dibekalkan dengan ilmu dan maklumat yang cukup dan betul, sebab itu perlu ada agamawan yang mahir dengan pelbagai ilmu-ilmu agama lain sehingga mereka mampu menggalas usaha-usaha tersebut di atas.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker di atas memberi peluang kepada saya untuk, Senggarang untuk membentangkan perbahasan pada petang ini. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, disebabkan terdapat masalah dalam sistem audio di Dewan ini, maka persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 30 November 2020, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4.50 petang.