Johor · 30 November 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 194 turns · 31,044 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan selawat). Alhamdulillah kita telah berada pada hari ketiga menyambung Mesyuarat Ketiga Belanjawan (2021) Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Jementah, jemput.
Selamat pagi Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 1.
Apakah rizab kapasiti bekalan air yang sedia ada di Johor bagi menghadapi waktu kecemasan akibat bekalan sumber air mentah terjejas?
Yang Berhormat Skudai, jemput.
Salam sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya, soalan nombor 2.
Nyatakan permintaan dan penghasilan air terawat di setiap daerah bagi tahun 2016 hingga 2020 serta unjuran untuk tahun 2025 dan 2030 dengan menyatakan rancangan kerajaan dalam menangani isu permintaan dan pembekalan bagi memastikan bekalan yang mampan dan tidak terganggu.
Jemput Yang Amat Berhormat.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat Jementah dan Yang Berhormat Skudai secara bersekali. Untuk makluman Yang Berhormat Ahli Dewan sekalian, kerajaan negeri amat menitik berat keperluan air sebagai sumber kegunaan asas bagi kita semua. Alhamdulillah sehingga kini negeri Johor mempunyai sumber air permukaan yang mencukupi bagi membekalkan air di seluruh negeri Johor termasuk Singapura. Johor mempunyai 5 batang sungai utama iaitu Sungai Muar, Sungai Batu Pahat, Sungai Johor, Sungai Ulu Sedili Besar, Sungai Mersing dan sebahagian Sungai Endau yang menjadi sumber bekalan air mentah ke loji rawatan air.
Pada masa ini terdapat 45 buah loji rawatan air yang memperolehi sumber bekalan air permukaan iaitu sungai dan empangan iaitu membekalkan air bersih kepada pengguna untuk penggunaan sebanyak 663,261 juta liter setahun atau 1,817 juta liter sehari.
Sebagai tambahan, purata hujan tahunan juga tinggi iaitu kira-kira 2,000 milimeter hingga 2,500 milimeter setahun. Secara tidak langsung ini menjanjikan sumber air yang mencukupi bagi keperluan loji rawatan air. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku fenomena cuaca
kering atau panas seperti fenomena El-Nino, loji rawatan air yang akan terjejas adalah Loji Rawatan Air Sungai Gembut dan Loji Rawatan Air Lok Heng.
Manakala loji rawatan air lain masih boleh beroperasi kerana masih mempunyai sumber air yang optimum. Bagi paras rizab pula, kapasiti air terawat di negeri Johor pada ketika ini adalah pada kadar 7%. Oleh yang demikian, pihak Ranhill SAJ, komited dalam menyediakan kapasiti rizab bekalan air yang mencukupi dan berusaha untuk melaksanakan beberapa program menaik taraf serta membina loji rawatan air baru sebagaimana digariskan dalam Pelan Perniagaan yang diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Ini termasuklah projek-projek yang sedang dalam proses pembinaan dan dilaksanakan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) seperti Loji Rawatan Air Layang 2 untuk fasa 1, yang berkapasiti 160 juta liter sehari, Loji Rawatan Air Pagoh berkapasiti 40 juta liter sehari dan Loji Rawatan Air Kahang, berkapasiti 40 juta liter sehari yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Di samping itu, 4 projek pembinaan loji baru dan menaik taraf loji sedia ada telah pun berjaya disiapkan seperti Loji Rawatan Air Buluh Kasap, Loji Rawatan Air Bukit Serampang, Loji Rawatan Air Sungai Lebam dan Loji Rawatan Air Pemanis.
Untuk makluman Dewan yang mulia, dengan perancangan sedia ada, paras rizab kapasiti bekalan air di negeri Johor dijangkakan akan terus meningkat menjelang tahun 2026, apabila beberapa lagi projek pembinaan loji baru bakal dilaksanakan dalam tempoh operasi keenam Op 6 kelak. Untuk makluman, berdasarkan rekod Ranhill SAJ sejak tahun 2016 hingga 2019, penghasilan air terawat telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.39% berbanding dengan permintaan air yang meningkat sebanyak 20.48% dalam tempoh masa yang sama. Jadi dengan kepesatan pembangunan serta pertambahan penduduk di negeri ini permintaan air pada tahun 2030 diunjurkan akan meningkat sehingga 28.18%. Namun begitu, dengan projek-projek infrastruktur yang telah dirancang oleh kerajaan, penghasilan air terawat pada tahun 2030 dapat diunjurkan dan menyaksikan peningkatan sebanyak 20.63%. Terima kasih Tuan Speaker.
Ya, Jementah, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat, memberi satu jawapan yang agak jelas berkenaan dengan kapasiti bekalan air di negeri Johor. Selain daripada usaha perancangan yang telah dikatakan tadi, untuk membina loji rawatan air menambah apa ni, loji rawatan air yang dibina untuk membekalkan air terawat kepada pengguna-pengguna dan sektor-sektor industri. Selain daripada itu, masalah bekalan air di negeri Johor, saya boleh katakan ada 2 masalah yang utama juga. Yang pertama, ialah pencemaran, yang kedua ialah kebocoran paip utama. Pencemaran, semalam Yang Berhormat EXCO Alam Sekitar pun ada menyatakan panjang lebar berkenaan dengan pemantauan dan apa yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Berkenaan dengan kebocoran paip...
Soalan Yang Berhormat, soalan?
Ya, ya, saya ulas sikit, Yang Berhormat Speaker. Berkenaan dengan kebocoran paip utama, kalau kita tengok laporan daripada Laporan Ekonomi Negeri Johor 2018-2019, Ranhill SAJ pun merumuskan bahawa kehilangan air sebab dia, kehilangan air disebabkan oleh kebocoran paip juga salah satu faktor yang sangat utama yang mempengaruhi bekalan air. Kalau kita tengok NRW, NRW walaupun ada mencapai kebaikan, semakin bertambah baik pada tahap 24.2% pada tahun 2018 dan kalau kita berbanding dengan seluruh negara, Johor pada tangga yang ketiga selepas Melaka dan negeri Pulau Pinang.
Soalan, Yang Berhormat.
Apa yang saya nak tahu ialah apakah perancangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah kebocoran paip utama ini, ada apa sebarang perancangan yang seterusnya selain daripada. Ok, kita memastikan kapasiti dah ada, tapi kebocoran paip macam mana kita nak menyelesaikan isu ini? So, saya mohon. Terima kasih.
Jemput, Yang Amat Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk menjawab soalan tambahan daripada Yang Berhormat Jementah, salah satu daripada cara untuk kita meningkatkan bekalan air terawat ialah untuk mengurangkan NRW, Non Revenue Water, itu ada hubung kaitnya dengan kita mengawal kebocoran yang kerap berlaku.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, paip asbestos yang terdapat di negeri Johor masih lagi pada kadar 7,000 km daripada keseluruhan 22,000 km paip untuk membekalkan air ke seluruh negeri Johor. Di dalam pelan perniagaan Ranhill SAJ, setiap tahun ada peruntukan yang disediakan, yang diluluskan oleh SPAN untuk tujuan NRW iaitu menggantikan paip-paip asbestos dengan paip-paip besi. Saya tidak nafikan bahawa di kedudukan ketiga dengan kadar NRW pada tahap 24.2% itu adalah sesuatu yang dianggap amat baik di mana perkhidmatan Ranhill SAJ menepati piawaian kerana kita mempunyai 7,000 km berbanding dengan Pulau Pinang yang hanya jauh lebih pendek paip-paip yang ada dan dengan kepadatan penduduk maka kos per kilometer basis adalah sesuatu yang memboleh usaha untuk mempercepatkan penggantian paip asbestos kepada paip besi ini adalah lebih cepat kerana kepadatan penduduk berbanding dengan negeri Johor kalau kita bandingkan daerah Muar, di daerah Batu Pahat per kilometer basis itu adalah terlalu sedikit untuk menjana pendapatan bagi membolehkan syarikat bekalan air untuk menyegerakan secara keseluruhan.
Jadi, ianya dilakukan secara berperingkat di mana setiap kali pelan perniagaan untuk tempoh 5 tahun yang disediakan oleh SAJ Ranhill ini akan membolehkan sebahagian daripada hasil yang dijana daripada bekalan air ini adalah digunakan untuk tujuan bagi menggantikan paip-paip atau menambah baik NRW bagi negeri Johor. Itu adalah langkah untuk kita mengatasi masalah sumber ataupun bekalan air terawat. Walau bagaimanapun, untuk makluman Dewan yang mulia ini, kita perlulah mempunyai asas untuk sumber bekalan air yang lebih cekap ataupun yang lebih mencukupi. Kita hanya bergantung kepada sumber bekalan air permukaan sahaja iaitu sungai dan juga empangan sedangkan kita tidak lagi atau belum lagi meneroka sumber-sumber baru seperti new water, recycle water atau reuse water untuk tujuan industri termasuklah mengenal pasti sumber air bawah tanah. Jadi ini adalah langkah yang sewajarnya selain kita mengganti paip asbestos kepada steel atau besi kita perlulah juga meneroka sumber-sumber bekalan air baru supaya ianya akan dapat menstabilkan bekalan dan juga memenuhi permintaan air yang terus meningkat memandangkan negeri Johor terus merupakan negeri yang pesat membangun di mana-masa yang akan datang. Terima kasih.
Ya Skudai, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat atas jawapan yang diberikan. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon Yang Amat Berhormat dapat membekalkan jawapan berdasarkan soalan saya iaitu menyatakan permintaan dan penghasilan air di setiap daerah mengikut, untuk tahun 2016 hingga 2020 dan unjuran untuk 2025 dan 2030. Kalau tak sempat untuk jawab dalam Dewan yang mulia ini, mungkin boleh secara bertulis.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita berada dalam satu Metropolis Johor Bahru yang membangun pesat terutamanya apabila dibangunkan banyak projek-projek perumahan baru yang besar daripada pelabur Cina. Antara projek-projek yang terbesar adalah projek Forest City yang dijangkakan akan menampung populasi sebanyak 700,000 orang. Ini akan secara tidak langsung dan secara langsung sebenarnya menambahkan lagi tekanan dan permintaan terhadap air terawat.
Pada tahun, saya masih ingat lagi dalam penggal yang lepas, Dewan penggal yang lepas, kami akan, kami telah menimbulkan persoalan ini dan kerajaan kata, menjawab bahawa satu loji rawatan air akan dibina di Forest City itu sendiri. Bagaimanapun, pada hari, sampai ke hari ini kita tak lihat lagi permulaan ataupun apa-apa perancangan berkenaan dengan pembinaan loji rawatan air di situ.
Soalan, Yang Berhormat?
Malah setiap hari, setiap hari, terpaksa, SAJ terpaksa menyalurkan sebanyak 30 juta liter air daripada daerah Johor Bahru ke projek pembangunan Forest City. Ini pun dalam peringkat permulaan.
Soalan, Yang Berhormat, soalan?
Maka, bagaimanakah kerajaan akan menampung permintaan yang dijangka akan naik mendadak, meningkat secara mendadak selepas keseluruhan projek Forest City ini siap dibina dan adakah projek ataupun pembinaan loji rawatan air yang dijanjikan sebelum ini akan diteruskan supaya pembinaan projek itu tidak mengganggu atau menjejaskan bekalan air terawat di tempat lain di sekitar daerah Johor Bahru?
Ok, terima kasih. Jemput Yang Amat Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada soalan tambahan Yang Berhormat Skudai.
Pertama, senarai ataupun jadual bekalan air bagi setiap daerah akan saya bekalkan secara bertulis. Ianya ada dalam simpanan kerajaan, maklumat-maklumat tersebut Yang Berhormat Tuan Speaker.
Berkenaan dengan bekalan air ke Forest City. Forest City adalah satu kawasan pembangunan yang berada di dalam zon antarabangsa. Kita menjangkakan bahawa ianya merupakan pembangunan yang mempunyai taraf yang berbeza dengan pembangunan-pembangunan lain.
Pada peringkat awal kerajaan bercadang kepada pihak pemaju supaya satu sistem bekalan air secara bersendiri dapat dibangunkan sama ada melalui kaedah desalination ataupun kaedah-kaedah lain. Memandangkan ianya merupakan yang saya katakan tadi zon antarabangsa, kuasa membelinya tinggi dan keupayaan untuk kawasan tersebut membayar lebih sedikit adalah merupakan satu siri dalam pembangunan tersebut. Walau bagaimanapun, pembangunan tersebut melalui beberapa fasa di mana hasrat untuk mendapatkan insentif-insentif kerajaan persekutuan merupakan sebahagian daripada ciri ataupun viability pembangunan tersebut. Memandangkan tidak semua insentif-insentif yang dipohon oleh pemaju berkenaan, maka bekalan air perlulah diperolehi melalui sistem bekalan yang ada. Maka atas dasar itu, mengambil kira unjuran, mengambil kira unjuran yang saya sebutkan tadi iaitu 20.48% peningkatan di masa yang akan datang, maka Loji Layang itu perlulah diperluaskan atau ditambah keupayaannya. Maka Loji Layang Fasa 1 yang dijangka siap pada tahun Jun 2020... pada Jun 2020, pada waktu ini dalam peringkat
pembinaan yang mempunyai kapasiti 160 juta liter sehari adalah bertujuan untuk membekalkan air di kawasan Iskandar Malaysia, Kota Iskandar dan Iskandar Malaysia secara keseluruhan termasuklah kawasan di Kulai, di Sedenak sebagai contoh sebagai kawasan yang industri yang pesat membangun, maka pembinaan loji rawatan air di Layang 2 Fasa 1 ini akan kita segerakan pembinaan siapnya pada tahun 2022 dan itu akan mampu untuk membekalkan air kepada bukan hanya Forest City, tetapi juga unjuran pembangunan di kawasan Kota Iskandar termasuklah kawasan di Kulai, Sedenak sebagai langkah untuk memastikan bekalan air itu stabil.
Tuan Speaker...
Oh, Tanjung Surat jemput.
Soalan Tuan Speaker, soalan tambahan saya adakah kerajaan bercadang untuk mendapatkan sumber air mentah dari bawah tanah yakni ground water sebagai sumber alternatif di masa akan datang?
Yang Berhormat Tuan Speaker, Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Seperti yang saya maklumkan bahawa adalah wajar untuk kerajaan mengenal pasti sumber air yang baru dan tidak bergantung sepenuhnya kepada air permukaan sahaja iaitu sungai dan empangan.
Dalam satu siri lawatan saya ke Komamoto, Jepun pada tahun 2016, sebuah bandar yang mempunyai penduduk seramai 800,000, sumber air kawasan tersebut, bandar tersebut adalah 100% bergantung kepada air bawah tanah.
Jadi dengan teknologi yang ada, yang sudah terbukti, tidak mustahil untuk kerajaan negeri Johor juga meneroka sumber air bawah tanah sebagai sumber baru dengan 800,000 penduduk Yang Berhormat Tuan Speaker, penggantungan 100% kepada air bawah tanah dengan teknologi yang ada, ianya akan dapat bukan hanya mengurangkan kos bagi rawatan air kerana air, sumber air yang lebih bersih dan di Johor pada kajian secara awalan didapati bahawa Johor mempunyai sumber air bawah tanah yang banyak. Dan ini adalah merupakan satu langkah yang insya-Allah akan diambil.
Walau bagaimanapun, BAKAJ atau Badan Kawal selia Air Johor perlu kita pertingkatkan dan kita perkukuhkan terlebih dahulu. Dan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan supaya BAKAJ ini dapat kita jadikan Lembaga mungkin, Lembaga Urus Air Johor dan untuk makluman Dewan yang mulia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia kini sedang melakukan 6 projek eksplorasi telaga air bawah tanah di sekitar kawasan loji-loji rawatan air di negeri Johor. Projek ini menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan dan dijangka selesai pada akhir tahun ini. Ranhill SAJ juga telah menerokai sumber air bawah tanah bagi daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Pontian. Bagaimanapun ianya masih di peringkat eksplorasi dan kajian tersebut dijangka siap sepenuhnya pada... oleh SAJ Ranhill pada akhir tahun 2021. Sekiranya kajian daripada Ranhill ini menunjukkan terdapat sumber air bawah tanah yang banyak bagi satu-satu kawasan, maka kerajaan akan menjadikan ianya sebagai sumber air alternatif bagi loji-loji yang menghadapi kekurangan air mentah semasa musim kemarau. Dan itu adalah merupakan langkah yang kita jangka mampu dan wajar kita laksanakan pada masa akan datang. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Bentayan jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 3.
Apakah perancangan terkini terhadap bangunan kuarters JKR yang terbiar di Jalan Pesta Muar?
Jemput Yang Berhormat.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada Bentayan yang prihatin dengan program dan projek JKR.
Untuk makluman Dewan khususnya Bentayan, bangunan kuarters JKR yang dimaksudkan ialah JKR 3113, Pangsapuri Pesona, Jalan Pesta 2/1, Taman Kenangan Tun Dr. Ismail, Muar, Johor. Bentuk bangunan adalah rumah pangsa 4 tingkat mengandungi 36 unit kuarters, 2 bilik setiap satu unit telah didaftarkan di Pejabat Tanah Muar pada 29 Mei 2006. Bangunan ini pernah dijadikan kuarters kerajaan daerah Muar yang menempatkan kakitangan Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar, Jabatan Kerja Raya Daerah Muar dan Pejabat Kesihatan Daerah Muar. Namun disebabkan banyak kerosakan pada struktur bangunan dan faktor keselamatan, bangunan ini tidak didiami sehingga kini.
Majlis Agama Islam Negeri Johor ada membuat permohonan untuk mengambil alih pengurusan bangunan kerajaan tersebut di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk dijadikan penempatan berkelompok rumah transit bangunan zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor melalui surat bertarikh 12 Mac 2017. Oleh yang demikian, permohonan MAIJ telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Daerah Muar yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Muar pada 2 Ogos 2017. Mesyuarat memutuskan tiada halangan terhadap permohonan Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sehubungan itu Pejabat Daerah Muar telah menghantar cadangan permohonan daripada MAIJ kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Pengurusan dan surat yang sama juga disalinkan kepada MAIJ melalui surat bertarikh 7 September 2017. Namun sehingga ini masih menunggu maklum balas.
Satu Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Daerah Muar diadakan pada 26 Ogos 2019 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Muar telah memutuskan dan mencadangkan supaya bangunan perumahan kediaman kakitangan daerah Muar yang beralamat di Pesta 2/1 itu diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Perumahan) untuk dijadikan sebagai rumah transit dengan pengendalian sepenuhnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Perumahan). Sekian, terima kasih.
Bentayan jemput, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO. Kuarters ini berada di satu lokasi yang agak strategik sebab di sekelilingi dia adalah pusat perdagangan. Jadi memang membazirkan kalau bangunan ini dibiarkan sahaja. Jadi soalan tambahan saya ialah apakah status terhadap perancangan yang tadi yang disebut oleh YB EXCO tadi? Ada dalam proses ataupun masih dalam permohonan? Sekian, terima kasih.
Jemput Yang Berhormat.
Terima kasih Bentayan. Seperti yang saya maklumkan di peringkat daerah, kita serahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Dan saya yakin sekiranya ada cadangan sama ada daripada agensi atau mungkin swasta, boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri. Bagaimanapun keluasan kawasan berkenaan ialah lebih kurang 7,000 kaki persegi sahaja
dan sekiranya ada cadangan, saya rasa yang sesuai ialah bangunan bertingkat. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Serom jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.
Bagaimana kerajaan Johor ingin menyelesaikan isu pelajar-pelajar yang tidak ada kemampuan peralatan atau ketinggalan dalam akademik di peringkat rendah dan menengah akibat dari pelaksanaan pembelajaran secara online semasa tempoh PKP lepas dan PKPB sekarang ini?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Parit Yaani...
Serom.
Serom dan soalan ini mirip kepada soalan daripada Parit Yaani A209. Jadi dengan menjawab soalan ini walaupun tidak bersekali, maka jawapannya akan menyelesaikan masalah 0... 209 soalan.
Ok, bagi tujuan membantu memudahkan proses pembelajaran golongan kurang berkemampuan dan di luar bandar, yang mempunyai kekangan talian Internet dan gadget bagi meneruskan proses pembelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan kembali TV Pendidikan. TV Pendidikan ini bersiaran setiap hari di saluran TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV1, TV2 dan TV Okey. Siaran TV Pendidikan merangkumi pelbagai subjek sekolah rendah dan menengah bagi menampung deposit talian dan gadget.
Perkara yang kedua, Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah bertindak secara proaktif dengan menggalakkan pihak sekolah menyediakan bahan pembelajaran dalam bentuk cetakan atau dipanggil modul untuk edaran murid-murid. Bahan tersebut diletakkan di pondok kawalan keselamatan atau tempat-tempat yang bersesuaian di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa dan sesetengahnya diedarkan sendiri oleh guru-guru melalui ketua komuniti setempat. Tugasan yang telah lengkap perlu diletakkan semula di tempat-tempat tersebut dan pihak sekolah guru untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih.
Ya, Serom jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Sepertimana yang kita tahu bahawa isu pendidikan hari ini, kesan daripada pelaksanaan PKP, kesan daripada pelaksanaan PKPB menyebabkan anak-anak kita dicutikan sekolah. Dan kalau dalam PKP kali ini dicutikan sampai bulan Februari. Hampir 4 bulan mereka bercuti. Belum diambil kira lagi cuti-cuti sebelum ini yang telah pun agak panjang.
Jadi kalau dilihat kepada apa yang telah dirancang oleh EXCO Pendidikan, yang mana kalau kita lihat di sini cuma ada TV Pendidikan dan juga pendidikan bahan-bahan bercetak. Jadi kalau di peringkat ini, saya melihat bahawa anak-anak ini masih lagi terbiar, yang mana kalau kita lihat kemampuan anak-anak untuk mereka menumpu kepada TV Pendidikan khususnya maka dekat situ kalau anak di rumah ada lebih daripada 4 atau 5 orang, maka
akan berlaku keciciran. Begitu juga kalau kita lihat kalau anak-anak ini fokus kepada bahan-bahan bercetak, begitulah juga bahan-bahan yang lain. Jadi akan berlaku ketinggalan ataupun fokus daripada mak bapak mereka yang mana anak-anak mereka 4 hingga 5 orang.
Soalan Yang Berhormat?
Jadi, saya ingin bertanya kepada YB EXCO Pendidikan, apakah kaedah lain bagi menampung isu-isu sebegini? Yang mana ibu bapa takkan mampu cater anak-anak ini 4 hingga 5 orang, yang akhirnya akan menjejaskan beberapa generasi contohnya macam tadilah, kalau 4/5 orang, maka akan ada Darjah 2, Darjah 3, Darjah 4, Darjah 5 dan seterusnya. Jadi apa pandangan YB EXCO?
TV tu boleh tengok orang ramai Yang Berhormat. Jemput, jemput EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat, sebenarnya bukan itu sahaja banyak inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri. Di antaranya, kita ada satu kajian yang menunjukkan bahawa ada 30% yang keciciran sedikit sebab tak ada bahan-bahan gadget dan sebagainya. Tetapi itu kajian melibatkan anak, tetapi rata-rata sekarang rakyat negeri Johor, pengalaman saya tengok di PPR dan sebagainya ibu bapa ada smart phone, gadget sebagai alternatif. Tapi waktu bekerja memanglah mak bapa bawa gadget tersebut, tapi di malam hari sebenarnya mak bapa boleh berkongsi untuk sama-sama mak bapak mendidik. Dalam keadaan COVID ini bukan negeri Johor sahaja mengalami, satu Malaysia dan satu dunia merasai perkara yang sama. Jadi perlu pengorbanan juga bukan di pihak kerajaan, mak bapa untuk sama-sama, untuk anak-anak pada waktu malam kalau boleh pinjam, pinjamlah mak bapa. Sebenarnya, banyak program-program seperti KPM ada program DELIMa. Dalam program DELIMa tersebut ada modul, kurikulum kita boleh pilih daripada darjah 1 sampai tingkatan 6, dan boleh pilih pula apa juga subjek yang kita hendak. Hanya kita klik sahaja, dan dalam program DELIMa itu kalau kita buka, kalau tuan-tuan boleh buka handphone sekarang silakan, klik DELIMa-KPM google site akan keluar aplikasi digital learning buku teks digital pun ada kat dalam, tak payah bawa buku balik rumah pun, buku teks pun ada kat dalam. Kerja rumah homework, ada dalam sistem tersebut. Lepas itu, seneca learning, ada show my homework, kita boleh pilih homework dalam tu. Lepas itu ada ujian dan kuiz dipanggil Quizizz dan ada siaran video Youtube jadi kita boleh pilih sahaja apa yang kita hendak, subjek yang hendak dan mak bapa harus berkorban juga sama-sama untuk membantu. Dan di peringkat negeri Johor pula kita bangunkan sistem Cikgu Tube yang lebih kurang sama sebagai bahan alternatif untuk kita belajar. Terima kasih.
Parit Yaani. Parit Yaani, jemput.
Terima kasih YB Speaker. Pertama sekali jawapan yang agak menarik walaupun nombor saya ini nombor 22. Tapi keprihatinan EXCO nampaknya dia pun tahu soalan 22 itu ada kaitan. Saya pun terkejut juga kenapa tidak digandingkan sekali dengan soalan nombor 4. Jadi soalan saya begini, dalam ucapan semalam pun saya telah sebut berkaitan dengan pelajar yang tidak ada kemudahan sama ada Internet atau kemudahan alat itu sendiri, ok. Jawapan daripada YB tadi boleh diterima, namun apakah keadaan pelajar yang, untuk menduduki peperiksaan? Pada saya yang bawah tidak ada peperiksaan ini tidak ada masalah. Tetapi yang mengambil peperiksaan ini, SPM dan STPM. Kerana keputusan mereka ini amat penting untuk masa depan mereka. Boleh tidak, boleh tidak kita cadangkan kepada kementerian sekiranya pelajar-pelajar yang terhalang dari segi pembelajaran dan pengajaran disebabkan ketiadaan peralatan dan kemudahan ini, dengan kerelaan mereka dan kebenaran pihak kerajaan di peringkat kementerian, kita minta supaya pelajar ini dengan kerelaan dia dengan
sebab keadaan yang begitu mereka dibenarkan untuk ambil peperiksaan pada tahun 2021 yang memang kumpulan 2021. Itu persoalannya.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan ini bukan di bawah kuasa kerajaan negeri untuk menjawab soalan. Tapi, kalau ada cadangan kita boleh cadangkan mengutus surat kepada Yang Berhormat Menteri. Tentang isu pasal Internet ini masalah kurang coverage, sebenarnya kerajaan mengambil banyak inisiatif. Di antaranya, kalau di kampung-kampung, di kampung kita ada pusat Internet tak kiralah dipanggil 1Malaysia yang ada di FELDA pusat Internet FELDA dan sebagainya dan pusat-pusat tersebut adalah di bawah kerajaan pusat iaitu Kementerian Luar Bandar. Di samping itu juga, kita ada PBP-PBT bangunkan dulu Johor Free Wifi yang dibangkitkan oleh Iskandar Puteri tentang ada masalah sedikit pasal cara pengurusan kontrak, itu semua kita boleh perbaiki. Yang penting matlamat, hasrat kerajaan itu tercapai untuk membantu dapatkan coverage, dia fasa 1, RM12.4 juta, fasa 2 RM8.9 juta, fasa 2 ini lebih kepada kawasan luar bandar. Dan, kita seterusnya kita ada Johor Wifi 2.0 projek 2021 hingga 2025 yang menelan belanja RM10 juta dan ini memberi peluang kepada kawasan-kawasan baru untuk diberi Internet percuma kepada rakyat. Di samping itu juga, tentang gadget ini ada inisiatif-inisiatif yang kita dalam perancangan untuk membantu pelajar-pelajar ambil SPM yang di dahului oleh Yayasan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zarith Sofiah akan membantu untuk membekalkan komputer riba dan seterusnya usaha ini juga akan dibantu oleh Yayasan-yayasan Bandaraya, insya-Allah. Daripada masa ke masa kerajaan negeri akan memikirkan apa perkara yang terbaik untuk membantu pelajar-pelajar untuk menghadapi peperiksaan. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Yang Berhormat Machap. Jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.
Apakah usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor bagi menampung pembelajaran, pengurusan dan pembangunan negeri ekoran pendapatan yang berkurangan semasa COVID-19?
Yang Berhormat Tenggaroh. Jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 6.
Hasil cukai tanah adalah sumber pendapatan utama kerajaan negeri. Bagaimana kerajaan negeri menampung kehilangan besar hasil negeri bagi menguruskan pentadbiran negeri Johor?
Yang Berhormat Serom. Jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.
Pandemik COVID-19 telah menyebabkan sumber-sumber ekonomi negeri terjejas teruk dan ia mungkin berlarutan sehingga hujung tahun 2021. Apakah langkah dan sumber baru yang telah dikenal pasti oleh kerajaan bagi menampung kekurangan dan penyusutan ini?
Yang Amat Berhormat, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Serom, Yang Berhormat Tenggaroh dan Yang Berhormat Machap. Izinkan saya untuk menjawab soalan secara bersekali. Yang Berhormat Tuan Speaker, di dalam Belanjawan 2021 yang telah saya bentangkan minggu lepas bertemakan “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Pelbagai usaha beragendakan Johor berkebajikan, rakyat Johor pasca pandemik COVID-19 pun telah dirancang. Kita perlukan satu hala tuju strategik yang baru Yang Berhormat Tuan Speaker selepas COVID-19 ini. Sesungguhnya kerajaan negeri mengambil berat tentang situasi semasa ekonomi Johor dan mengambil inisiatif membentangkan unjuran bajet defisit berjumlah RM248.14 juta demi rakyat Johor. Semua inisiatif lebih berbentuk bantuan one-off bersasar seperti bantuan RM500.00 kepada pemandu teksi, RM500.00 kepada penyewa premis PBT dan pasar niaga. RM500.00 kepada pengusaha bas, RM150.00 kepada mahasiswa, RM100.00 kepada pemandu e-hailing, RM100.00 kepada pelajar sekolah dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, hasil kerajaan pada tahun hadapan juga berkurangan setelah pelbagai insentif diberikan kepada pro rakyat, seperti rebat cukai tanah yang dianggarkan berjumlah RM204.89 juta, pengecualian cukai hiburan berjumlah RM60 juta, pengecualian lesen penjaja dan pengecualian sewa kedai di ruang niaga PBT berjumlah RM41 juta, pengecualian bayaran sewa di bawah Program Perumahan Rakyat dan Rumah Sewa Kerajaan bersasar berjumlah RM15.54 juta. Kerajaan negeri perlu berbelanja ikut kemampuan, kerana kestabilan fizikal juga significant dan perlu memberi matlamat utama, perlu menjadi matlamat utama kerajaan negeri. Di dalam bajet yang lepas saya telah pun menyatakan bahawa salah satu strategi kewangan bagi Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang akan berpandukan kepada konsep counter-cyclical measures di mana kerajaan negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fizikal, pada masa akan datang sehinggalah ekonomi negeri kembali mengembang. Untuk makluman Yang Berhormat Ahli Dewan yang mulia, bahawa kalau pada tahun 2021 kita membentangkan bajet defisit sebagai berpegang kepada dasar fiskal yang sihat, maka selepas itu kita perlulah membentangkan bajet yang berimbang, a balance budget sebelum kita membentangkan bajet lebihan, budget surplus itulah kaedah yang biasa diamalkan oleh sesebuah kerajaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya memahami soalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mencari sumber hasil yang baru. Perbendaharaan Negeri Johor telah menyusun strategi dalam usaha untuk meningkatkan kutipan hasil bagi menampung kekurangan berdasarkan kepada insentif-insentif yang kita berikan pada tahun 2021. Antaranya adalah meningkatkan kecekapan kutipan, mengelakkan ketirisan, memantapkan pemantauan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi. Pada tahun 2021, Perbendaharaan Negeri Johor akan membuat fokus kepada mengurangkan tunggakan hasil. Kerana ia akan dapat membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, program jaminan bekalan makanan turut dirangka sebagai usaha untuk menambah hasil kerajaan negeri. Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, (MAQIS) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makan, (MAFI) melaporkan pada tahun 2019 hampir 970,000 tan metrik produk pertanian segar seperti buah-buahan, ayam hidup, ikan segar, daging, melalui Tambak Johor untuk dihantar ke Singapura. Ia dianggarkan bernilai RM1.19 bilion. Pada suku kedua pada tahun 2020, penghantaran produk pertanian segar, berjumlah hampir 350,000 tan metrik dengan nilai jumlah RM1.48 bilion, walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19. Saya percaya Johor mampu memperolehi manfaat dan menjana hasil pendapatan negeri yang lebih tinggi dalam nilai rantaian pertanian. Dengan kerjasama awam, swasta dan agensi persekutuan, pembangunan pusat pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran negeri Johor yang dilengkapi dengan platform Agricultural Exports Centre dengan izin, bagi proses pensijilan dan kelulusan daripada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, MAFI dapat dijayakan. Inilah cadangan strategi kerajaan negeri bagi penjanaan hasil baru berasaskan perkhidmatan industri hiliran pertanian dan makanan di negeri Johor.
Agricultural Exports Centre dengan izin, juga akan menjadi pusat keselamatan dan kualiti makanan menuntut piawaian antarabangsa. Penjenamaan dan akses kepada pasaran pertanian dunia. Sebagai contoh, semua produk-produk eksport pertanian ke Singapura di tambah nilai dari segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dan penjenamaan made in Johor menjadi pilihan baru rakyat Singapura mahupun antarabangsa. Kerajaan negeri amat yakin dengan penglibatan kerajaan persekutuan, pihak swasta, pihak pelabur strategik, usaha-usaha pembangunan, Agricultural Exports Centre, produk pertanian eksport dapat direalisasikan. Selain daripada program jaminan bekalan makanan, Majlis Digital Johor juga diwujudkan sebagai langkah untuk memperkukuhkan hasil kerajaan negeri. pewujudan sebuah bank digital pada suatu ketika nanti mampu kita realisasikan. Jadi itulah keadaan dan kedudukan kita pada waktu ini Yang Berhormat Tuan Speaker, pada tahun 2021 Perbendaharaan Negeri Johor akan memberi fokus kepada yang saya katakan tadi mengurangkan tunggakan dan semoga usaha kerajaan ini sedikit sebanyak akan dapat meningkatkan hasil kerajaan dan seterusnya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk inisiatif pro rakyat.
Ya, Machap, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah pun memberikan penjelasan tentang mungkin berlaku penyusutan dari segi pungutan hasil kerajaan negeri ekoran daripada pemberian insentif dan juga penurunan cukai, kadar cukai sehingga membawa unjuran hasil kerajaan negeri sebanyak RM1,609.0 juta manakala unjuran perbelanjaan iaitu RM1,857.21 juta yang menunjukkan mungkin berlakunya belanjawan defisit sebanyak RM248.14 juta. Jadi, dalam keadaan begini kita sudah pun membuat unjuran akan berlaku defisit dari segi belanjawan, jadi apakah usaha yang boleh kita lakukan dalam menampung berlakunya belanjawan defisit sebanyak RM248.14 juta ini. Terima kasih.
Saya kira macam dah jawab tadi, tapi terpulanglah kepada Yang Amat Berhormat, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, saya tambah sedikit maklumat bagi memberi keyakinan kepada Dewan yang mulia ini. Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa unjuran hasil negeri pada tahun hadapan adalah berjumlah RM1,609.07 juta itu unjuran hasil. Manakala unjuran perbelanjaan adalah RM1,857.21 juta. Dan, daripada pecahan berkaitan dengan hasil negeri cukai RM773.457 juta, hasil bukan cukai RM605.338 juta, terimaan bukan hasil RM230.275 juta. Jadi, itu menjadikan RM1,609.07 juta sebagai hasil kerajaan negeri dan kita akan berbelanja RM1,857.21 juta.
Dengan kekurangan ataupun untuk menstabilkan hasil kerajaan negeri pada tahun 2021, kalaulah sekalipun program jaminan bekalan makanan itu mengambil masa, sekalipun program digital ekonomi itu mengambil masa antara cadangan-cadangan yang dapat dikenal pasti ialah Badan Kawal Selia akan meningkatkan bayaran lesen, kompaun dan denda di dalam Enakmen Air 1921 selaras untuk menaikkan taraf Badan Kawal Selia Air Johor sebagai Lembaga Urus Air Johor, itu satu.
Kedua, Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam perancangan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan haram serta menambah hasil daripada aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.
Ketiga, kerajaan negeri sedang mengkaji semula Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, bagi memastikan kutipan hasil dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Keempat, terdapat beberapa punca hasil baru yang sedang dalam peringkat penelitian jabatan-jabatan sebelum ianya diputuskan di peringkat kerajaan. Hasil tersebut dijangka akan dapat dikutip pada tahun hadapan dengan anggaran kutipan sebanyak RM70 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi hasil berasaskan cukai seperti mana yang saya katakan tadi, yang bukan cukai juga telah pun saya nyatakan tapi secara terperincinya 3 sumber hasil tertinggi adalah pendaftaran tanah sebanyak RM97 juta, faedah dan hasil daripada wang simpanan tetap di bank adalah RM95 juta dan bayaran perkhidmatan pelbagai RM81 juta. Kita juga mengambil kira bayaran-bayaran daripada kerajaan persekutuan sama ada bayaran untuk per kapita ataupun bayaran 50% bagi sokongan program pembangunan. Jadi, bagi program-program yang dirancang ianya tidak akan menghadapi sebarang masalah dari segi kewangan dan kita telah mengenal pasti kaedah-kaedah untuk memantapkan hasil-hasil bagi kerajaan negeri. Terima kasih.
Ya, Jementah, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat, memberi satu jawapan yang agak menyeluruh. Kita semua faham oleh kerana pandemik COVID-19 ini hasil negeri akan terjejas teruk, kita pun faham sebab aktiviti ekonomi hampir-hampir terhenti dalam 10 bulan ini. Dan, apa yang Jementah ingin tahu ialah hasil kutipan yang terkini, sehingga kini adalah kutipan hasil yang telah dikutip oleh kerajaan negeri sekarang ada berapa, kalau kita tengok itu yang satu. Satu lagi ialah kalau kita tengok kedudukan kewangan negeri pada tahun 2019.
Belum sampai hujung tahun macam mana nak kira lagi, Yang Berhormat.
Ini ada berkaitan dengan kedudukan kewangan negeri, kalau boleh Yang Amat Berhormat boleh maklumkan kepada semua Ahli dalam Dewan yang mulia ini. Pada tahun 2019, kita tengok akaun hasil disatukan lebih kurang RM1.193 bilion dan akaun amanah disatukan RM1.549 bilion dan secara keseluruhan akaun wang disatukan adalah RM2.653 bilion dan ingin saya tahu kedudukan kewangan khususnya akaun hasil disatukan dan akaun amanah disatukan terkini, kedudukannya terkini, kalau ada saya mohon Yang Amat Berhormat boleh memaklumkan kepada Dewan Negeri ini supaya kita tahu kedudukan kewangan yang sebenarnya kerajaan negeri sekarang. Terima kasih.
Jemput, Yang Amat Berhormat. Akaun belum tutup lagi. Jemput, Yang Amat Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat Jementah, kedudukan rizab negeri sehingga 26 November 2020 adalah berjumlah RM3,273 juta dan ini terdiri daripada akaun amanah ataupun pinjaman disatukan berjumlah RM1,607 juta dan akaun hasil disatukan berjumlah RM1,668 juta. Jadi, dengan mengambil kira segala inisiatif dan titik fokus yang telah saya bentangkan dalam Ucapan Bajet 2021 yang Khamis yang lalu, saya percaya rizab negeri Johor cukup untuk menampung jumlah perbelanjaan tersebut dan kerajaan juga akan sedaya upaya untuk menambah, untuk membuat penjimatan, penjimatan atas beberapa perbelanjaan mengurus bagi mengelakkan defisit lebih besar dari jangkaan. Sebagaimana Pekeliling Perbendaharaan Negeri Tahun 2018, perbelanjaan berhemah jabatan-jabatan, agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri dan juga syarikat kerajaan negeri menyatakan bahawa ketua jabatan hendaklah mematuhi langkah-langkah perbelanjaan berhemah jadi kita akan patuhi. Transformasi perkhidmatan kerajaan semasa kepada perkhidmatan digital perlu diperkasakan kerana dengan pengurusan kerajaan secara digital tanpa kertas atau paper less government ini apabila dipertingkatkan merupakan salah satu daripada usaha
untuk mengurangkan kos. Penggunaan teknologi Industry Revolution IR4.0 data raya di dalam sektor kerajaan mampu untuk mengurangkan kos pentadbiran di suatu jabatan.
Sebagai rumusan Yang Berhormat Tuan Speaker, sekiranya sempadan dibuka semula, sekiranya ekonomi Singapura meningkat dan sekiranya bantuan kerajaan persekutuan melalui program-program yang telah diluluskan itu sampai kepada kerajaan negeri tahun 2021 adalah tahun yang melihat negeri terus berkembang maju. Terima kasih.
Ya, Serom, Serom.
Ok, soalan tambahan.
Parit Yaani, jemput.
Berkaitan dengan sumber baru sebab persoalan ini kalau dilihat, bagaimana dan juga apakah langkah, apa yang saya difahamkan daripada sumber yang sahih bahawa PTP pada hari ini dipenuhi dengan kapal disebabkan oleh masalah di Singapura dan kerana mungkin kekurangan pekerja dia ataupun apa yang berlaku di sana. Jadi, apa yang saya difahamkan bahawa laluan kapal, dermaga di PTP agak kecil, apakah kerajaan bersedia sekiranya pihak PTP ingin membesarkan dermaga dia supaya kapal-kapal yang sekarang ni dah lari daripada Singapura pergi ke PTP, yang menjadi laluan kepada perancangan kerajaan untuk laluan eksport barang-barang makanan dan sebagainya untuk dapat dilaksanakan dengan tempoh yang paling baik untuk kita sendiri sebagai pengeluar atas nama Johor pengeluaran Johor tadi tu.
Untuk menambah pendapatan kerajaan.
Ya.
Untuk menambah pendapatan kerajaan.
Ya, untuk menambah pendapatan kita negeri Johor tu. Jadi, adakah kerajaan bersedia untuk memberikan kebenaran dan sebagainya sekiranya permintaan itu datang daripada pengurusan di peringkat PTP. Sekian.
Jemput Yang Amat Berhormat. Jauh sikit tapi ada matlamat yang sama untuk meningkatkan pendapatan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, kita ada 3 pelabuhan antarabangsa di negeri Johor ini dan kita ada satu lapangan terbang yang juga berfungsi sebagai lapangan terbang untuk perkhidmatan kargo. Kita bernasib baik Johor berbanding negeri-negeri lain kerana infrastruktur kita yang lengkap dan bertaraf antarabangsa malah bukan hanya pelabuhan-pelabuhan antarabangsa sahaja Yang Berhormat Parit Yaani, kerajaan negeri juga pada waktu ini sedang mengkaji supaya pintu-pintu masuk sama ada di 6 pintu masuk seperti di pintu masuk di Kukup, di Puteri Harbour sendiri, di Pasir Gudang, di Stulang dan juga di Batu Pahat akan di naik taraf menjadi pelabuhan yang akan dapat menggalakkan lagi lebih banyak aktiviti perdagangan barang-barangan dan untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri juga telah menerima cadangan daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas untuk diperluaskan dan kita akan memantau supaya kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas ini terus menjadi pelabuhan kontena yang strategik dan ianya juga mengambil kira banyak cadangan-cadangan lain untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berasaskan perdagangan antarabangsa di kawasan tersebut. Tetapi yang lebih penting
seperti mana Yang Berhormat sebutkan tadi, kita akan bantu dan sokong usaha Pelabuhan Tanjung Pelepas untuk memperluaskan pelabuhan tersebut. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Bukit Naning, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 8.
Apakah program-program yang telah dijalankan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sepanjang tempoh PKP, PKPP dan PKPB yang telah dilaksanakan di negeri Johor.
Jemput, Yang Berhormat EXCO.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Naning.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri Johor melalui YPKDT telah melaksanakan berbagai insentif khusus kepada kumpulan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Kerajaan Johor mempunyai pelbagai perancangan dan strategi sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam 7 Ikhtiar Makmur Johor untuk membangun dan memulihkan semula ekonomi Johor yang terjejas dan antara fokus utama kerajaan termasuk memberi tumpuan dalam bidang ekonomi digital yang kini menjadi platform dan era baru ekonomi masa depan. Sama ada golongan berumur pertengahan, remaja dan muda semuanya mengadaptasikan diri dengan platform ekonomi digital. Justeru itu, YPKDT telah membuat penjajaran semula Bajet Tahun 2020 bagi memastikan masyarakat menerima manfaat dan mempunyai platform untuk mencari sumber pendapatan sampingan. Maka dengan itu, hasil daripada penjajaran bajet YPKDT dengan peruntukan sedia ada melalui program Mini Karnival Anak Muda Eksuri telah mewujudkan satu program semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan April yang lalu yang dikenali sebagai Bantuan Keusahawanan Bangsa Johor Pack Food and Delivery Service dengan izin. Program ini dibangunkan khusus bagi membantu keluarga di negeri Johor yang terkesan daripada ketidaktentuan ekonomi sehingga menyebabkan kehilangan punca pendapatan.
Seterusnya, YPKDT juga memainkan peranan untuk membantu dalam pemasaran usahawan-usahawan Jo-Pack melalui portal rasmi YPKDT, laman sosial facebook Jo-Pack sendiri iaitu Bangsa Johor Packet Food dan Delivery Service, Jo-Pack dan hebahan melalui kumpulan-kumpulan whatsapp dengan izin.
Yang Berhormat Tuan Speaker, program kedua ialah Jejak Admari merupakan program berbentuk penyampaian sumbangan prihatin kepada golongan sasar yang terkesan dengan pandemik COVID-19 seperti ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah, warga emas, OKU, keluarga B40 dan sebagainya. Bagi tahun 2020, seramai 1,021 orang golongan sasaran telah menerima manfaat. Sumbangan ini merupakan barangan keperluan harian dan serta memberi peruntukan tunai sebanyak RM100.00 untuk setiap orang. Program ini adalah berbentuk one-off dan mana-mana golongan sasar yang masih belum menerima bantuan tetapi mereka layak juga akan dibantu untuk mendapatkan bantuan seperti daripada pihak MAINJ dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara program lain yang dijalankan oleh YPKDT dalam tempoh PKP, PKPP dan PKPB ialah Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus iaitu KIUB yang mana kursus ini memberikan ruang kepada usahawan-usahawan wanita di bawah YPKDT untuk meningkatkan kemahiran dan memperluaskan lagi penghasilan produk sedia ada. Untuk program KIUB yang dilaksanakan mengikut 3 fasa, 3 zon seramai 100 usahawan wanita telah menerima manfaat program ini. Melalui program CUBE juga,
YPKDT telah bekerjasama dengan usahawan-usahawan wanita yang terlibat dalam bidang jahitan untuk menghasilkan PPE dan sehingga November 2020 sebanyak 1,300 helai PPE telah disiapkan dan juga 1,200 helai beg non-woven dengan izin, pelbagai saiz telah disiapkan dan diserahkan kepada Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Seterusnya ialah Program Woman’s Income Generating Skill (WINGS) dengan izin, merupakan satu program yang memberi ilmu dan kemahiran kepada wanita-wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Program ini dilaksanakan di kesemua daerah di Negeri Johor yang mana telah melibatkan 540 orang wanita dengan 44 jenis kursus yang telah diadakan.
Dan yang terakhir ialah Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIP). SKIP adalah satu bentuk bantuan peralatan yang diberikan golongan sasar bagi meningkatkan pendapatan dan mengembangkan lagi perniagaan home based business dengan izin, sedia ada. Bagi tahun 2020, seramai 120 orang golongan sasaran telah menerima manfaat. Antara peralatan yang diberikan kepada penerima ialah mixer, oven, peralatan spa, dapur gas, pengukus dan lain-lain. Peralatan ini diberikan adalah mengikut keperluan pemohon dan diberikan setelah dinilai oleh Jawatankuasa Penilai di peringkat ibu pejabat YPKDT. Terima kasih.
Ya Bukit Naning.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat EXCO.
Dengan program-program yang telah dijalankan oleh YPKDT sepanjang tempoh PKP, sejauh manakah keberkesanannya program-program yang telah dijalankan kerana ada juga ibu-ibu tunggal yang diberikan mesin jahit tapi akhirnya tidak digunakan. Dan...
Lepas tu dijual... lepas tu mesin tu dijual.
Disimpan... Ah...
Bukan dijual?
Tak jual. Simpan, ada yang dijual juga kadang-kadang. Jadi, oven pun disimpan aje. Dia tak memberi kesan kepada ibu-ibu tunggal ini untuk meneruskan kehidupan dan mengurangkan beban mereka. Jadi apa keberkesanannya?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Naning. Sebenarnya untuk program itu telah pun mendapat sambutan sebab YPKDT bukan sahaja memberi peralatan tetapi kami akan sentiasa memastikan peningkatan pendapatan itu kepada setiap pemohon. Jadi untuk makluman setakat ini, kita tidak lagi terdapat orang-orang yang tidak menggunakan peralatan tersebut dan sekiranya ada, saya mohon pada Yang Berhormat Naning untuk memajukan kepada saya insya-Allah. Terima kasih.
Johor Jaya jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Oleh sebab penularan pandemik COVID-19 kita dimaklumkan, kita memang tahulah sepanjang tempoh PKP, PKPB dan PKPP ini telah dilaksanakan di seluruh negara. So soalan saya
apabila kita menghadapi PKP, PKPP ini kita telah dimaklumkan bahawa juga masalah kekeluargaan turut meningkat. Termasuk keganasan rumah tangga sebab mungkinlah suami isteri semua berada di rumah, pergaduhan pun bertambah. Ada juga isu tekanan ekonomi, isu tekanan kekeluargaan. So...
Duduk rumah sama-sama, gaduh pasal apa pulak?
Saya tak tahulah sebab saya duduk dengan ibu bapa saya. Kita tak gaduh. (Dewan ketawa). So, antara program-program yang telah dijalankan oleh YPKDT, saya nak tanya apakah program yang telah dijalankan untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kekeluargaan termasuk masalah keganasan rumah tangga? Dan juga bagi dalam Belanjawan 2020, kita ada satu bajet untuk melaksanakan Program Biro Guaman YPKDT. Saya nak tanya YB EXCO berkenaan dengan macam mana apa statusnya biro guaman ini yang dapat membantu mereka yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Untuk menjawab soalan itu, sebenarnya untuk mengetahui masalah keganasan rumah tangga lebih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Insya-Allah saya akan menjawab secara bertulis kepada jawapan yang tersebut. Terima kasih.
Seterusnya jemput Yang Berhormat Stulang.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 9.
Apakah rancangan dan usaha Kerajaan Johor dalam merancakkan industri runcit di negeri Johor?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Stulang. Bagi merancakkan industri runcit di negeri Johor, terdapat beberapa usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan negeri Johor termasuk :
1. Menjayakan program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) seperti pelaksanaan program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) 2020 secara serentak sebagai suatu inisiatif yang menyeluruh untuk memulih (recover) dan merancakkan (revitalize) sektor peruncitan di dalam negeri Johor.
2. Peniaga pasar raya dan pusat beli-belah boleh memohon untuk membuat jualan murah pada bila-bila masa yang dicadangkan oleh peniaga dan peniaga tidak perlu membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah sekiranya tempoh untuk membuat jualan murah itu dalam tempoh kurang dari 3 hari. Dan sehingga 15 November 2020, sebanyak 405 permohonan telah diluluskan untuk tujuan tersebut.
3. Peruncit yang menjual gula, minyak masak dan tepung gandum pula memiliki, mereka perlu memiliki lesen yang sah bawah Akta Kawalan Bekalan 1991. Sungguh pun demikian, tiada sebarang bayaran dikenakan pada peruncit bagi membeli lesen tersebut. Ini merupakan usaha kerajaan dalam menggalakkan mereka menjalankan perniagaan peruncitan. Dan sehingga 15 November 2020, sebanyak 5,944 lesen
yang telah, lesen runcit yang telah dikeluarkan kepada peruncit di seluruh negeri Johor.
4. Inisiatif Jualan Makmur Johor juga merupakan satu platform yang kita boleh menggalakkan usaha peruncitan di Johor.
5. Terdapat juga beberapa insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan Johor melalui Perbadanan Usaha Johor (PUJB) bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia adalah seperti yang berikut: kita ada geran orang lokal, kita ada jejak PKS, bantuan ihsan untuk usahawan, program Johor e-marketplace melalui Shopee yang menyediakan training dan marketing dan kerajaan negeri juga menyediakan insentif untuk usahawan yang menggunakan payment gateway atas talian melalui block change. Semua ini dia akan membantu di dalam merancakkan lagi industri peruncitan di Johor. Terima kasih.
Ya Benta... Bukit Naning. Eh sorry, jemput, jemput Stulang.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Jadi oleh kerana selepas penularan pandemik COVID-19 ini, kita akan mengharungi cabaran new norma. Dan untuk perniagaan runcit juga, saya rasa banyak perniagaan runcit juga belum melalui pembinaan infrastruktur pentas e-dagang. Maksudnya ramai peniaga masih belum lagi mempunyai pentas e-dagang. Jadi saya rasa, jadi saya rasa apakah, adakah kerajaan akan menolong peniaga runcit untuk membangunkan infrastruktur e-dagang? Kemudian, ada menyentuh tentang Shopee dan juga baucar dan sebagainya. Boleh tak kita tahu setakat ini, setakat ini pelancaran Shopee dan e-baucar ini yang boleh menolong perniagaan runcit ini, setakat ini berapakah nilai dagangan yang telah pun dihasilkan dan berapakah nilai baucar yang telah pun diberikan? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Sebenarnya industri peruncitan yang pertamanya kalau peruncit-peruncit kecil ini, mereka merupakan satu essential service dan kalau ikut apa yang kami dapati bila buat pemantauan, mereka tidak begitu terkesan sebenarnya dan mereka boleh terus buka dan beroperasi dan ada kedai-kedai runcit mereka ada macam sudah ada perkembangan pula dia punya business. Itu nombor satu.
Mengenai yang Shopee itu, setakat 27 hari bulan ada seramai 31,000 hits, bermakna 1 hits tu dia ada dalam RM20.00. Dan bermakna kita ada baki dalam 7,000 lah yang belum ditunaikan dan kalau jumlah itu 31 x RM20.00 adalah 62,000, kita sudah keluarkan baucar. Sekian, terima kasih.
Ya Panti.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan tadi. Cuma saya ucapkan terima kasih jugalah atas usaha khususnya untuk membantu peniaga-peniaga. Salah satunya yang kita yang EXCO sebut tadi ialah Jualan Makmur Johor.
Soalan saya apakah jaminan, adakah ada jaminan dari kerajaan dengan kerjasama ini dari segi apa harga barang yang ditawarkan di dalam Jualan Makmur Johor itu. Saya tahu bahawa ada banyak peniaga dan mungkin ada peniaga-peniaga meletakkan harga-harga yang berbeza. Satu contoh yang saya sempat check tadi adalah dari segi harga beras, harga beras 5 kilo. Kalau dari pasaran biasa ada pelbagai harga maknanya kalau di luar dalam harga dalam RM13.00-RM14.00, di dalam Shopee ada lebih murah, ada yang
average. Tapi ada juga harga sampai RM19.00. So macam mana dari segi kawalan harga dan pemantauan yang dibuat oleh kerajaan?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Panti. Itulah sebab kita guna Shopee kerana pengguna mereka boleh berbanding harga, so mereka boleh buat pemilihan. Dia kalau dia rasa mahal, dia pilihlah syarikat lain yang jual barang yang sama. So, kita tak ada wajibkan mereka beli daripada siapa-siapa. Tak ada, mereka buat pilihannya sendiri. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Kempas jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 10.
Berikan pencerahan status kemajuan pembinaan kemudahan sukan bagi SUKMA 2021 serta berapa banyakkan sumbangan kerajaan persekutuan kepada Johor yang telah disalurkan buat masa ini?
Yang Berhormat Semerah jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 11.
Setelah SUKMA 2020 dibatalkan dan Johor diberikan hak menganjurkan SUKMA 2022. Oleh itu, apakah perancangan pihak kerajaan negeri memastikan semua fasiliti sukan yang telah siap dapat digunakan serta masa depan atlit yang tidak dapat beraksi pada SUKMA 2020?
Yang Berhormat Tenggaroh jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 12.
Apakah perancangan kerajaan negeri untuk memastikan venue-venue yang dibina untuk SUKMA Johor 2020 tidak menjadi gajah putih?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Kempas, Yang Berhormat Semerah dan Yang Berhormat Tenggaroh atas soalan. Yang Berhormat Speaker, izinkan saya menjawab soalan tersebut secara bersekali.
Seperti yang kita semua sedia maklum, Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan pada 9 hari bulan November 2020 telah mengumumkan bahawa SUKMA 2020 yang dijadualkan untuk berlangsung pada awal tahun hadapan telah dibatalkan disebabkan faktor kesihatan yang membabitkan pandemik COVID-19. Walaupun kita akur dengan keputusan tersebut, ia adalah ketetapan yang amat berat bagi kerajaan Negeri Johor kerana alhamdulillah dengan izin Allah jua, kita telah bersedia sebagai tuan rumah terbaik bagi penganjuran SUKMA 2020. Sekretariat SUKMA yang diterajui oleh Tuan Haji Onn Jabar dibantu oleh Encik Gadaffie, MSNJ, KPRJ, MBJB, MBIP, MDP dan banyak lagi agensi telah melakukan segala persiapan dan berada pada tahap yang baik dan sangat memuaskan.
Namun begitu, atas faktor kesihatan dan keselamatan yang melibatkan sejumlah 30,000 orang atlit, pegawai, pasukan petugas dari seluruh pelosok negara, kerajaan negeri berpandangan bahawa adalah tidak sesuai untuk mengadakan program berskala besar ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Pada masa yang sama, kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Majlis Tertinggi SUKMA kerana telah menawarkan supaya Johor menjadi tuan rumah SUKMA pada tahun 2022. Insya-Allah keputusan sama ada kita akan terus menjadi tuan rumah SUKMA 2022 banyak bergantung kepada status pandemik COVID-19 dan ekonomi pada awal tahun depan. Jadi sama-sama kita doakan vaksin ini dapat diedarkan pada awal tahun hadapan.
Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, status kemajuan pembinaan kemudahan sukan bagi temasya SUKMA secara keseluruhannya, keseluruhannya telah mencapai tahap 99%. Daripada 39 venue yang disediakan, 13 venue merupakan venue yang dibina baru, 17 venue pula dinaik taraf dan selebihnya adalah venue sedia ada. Pembinaan venue-venue baru adalah seperti Velodrom Johor, Arena Emas, Pusat Menembak Johor, Dataran Bola Sepak, Pusat Pelayaran dan semua venue ini menjadi mercu tanda dan kebanggaan kita orang Johor. Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, anggaran kos anjuran jika temasya SUKMA 2020 dijalankan dan diteruskan adalah sebanyak RM617.9 juta. Kos pembangunan infrastruktur dan kemudahan sukan berjumlah RM467.9 juta, manakala kos pengurusan adalah sebanyak RM150 juta. Daripada jumlah tersebut RM142 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk pembangunan infra dan RM65 juta untuk pengurusan. Anggaran penjimatan apabila SUKMA tidak di buat tahun hadapan adalah sebanyak RM125 juta. Pada masa yang sama memandangkan penganjuran SUKMA ditangguhkan kepada tahun 2022, kerajaan negeri akan memanfaatkan segala kemudahan dan fasiliti-fasiliti sukan yang telah siap dibina dengan sebaiknya serta memastikan infrastruktur dan kemudahan sukan diselenggarakan dengan baik dan tidak menjadi projek gajak putih. Penyelarasan juga sudah dibuat oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku. MSNJ, Perbadanan Stadium Negeri Johor, (PSNJ), MBJB, MBIP, KPRJ dan agensi-agensi lain telah bermesyuarat beberapa kali bagi tujuan penyelarasan. Perkara ini pun sudah dibentangkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Sebanyak RM6.45 juta telah diperuntukkan tahun hadapan bagi tujuan penyelenggaraan venue-venue SUKMA ini, selain itu venue- venue SUKMA ini akan menjadi tempat latihan atlet-atlet Johor di bawah program MSNJ dan juga akan digunakan venue pertandingan tempatan sepanjang tahun 2021 sehingga menjelang SUKMA Johor 2022. Bergantung kepada situasi pandemik COVID-19, kejohanan-kejohanan juga akan diadakan di fasiliti-fasiliti baru ini seperti Kejohanan Renang Piala Datuk Bandar 2021 di Pusat Akuatik Arena Larkin Johor Bahru. Kejohanan Tinju Datuk Bandar di Stadium Tertutup Arena Larkin, Kejohanan Lawn Balls terbuka di Pusat Lawn Ball Arena Emas, King of Desaru di KRAMSAU Desaru, kejohanan olahraga MSSD dan MSSJ di Stadium Olahraga Kompleks Sukan Johor, Johor Rugby Carnival di Stadium Rugby Kompleks, kejohanan Junior Cycling dan kejohanan International Open BMX di Velodrom dan trek BMX Johor Iskandar Puteri.
Pada masa yang sama, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kerajaan negeri sememangnya prihatin dengan masa depan atlit-atlit Johor, terutama atlit-atlit SUKMA yang telah berkorban masa, tenaga dan keringat untuk membuat persiapan menghadapi SUKMA Johor 2020 sejak tahun 2018 lagi. Kerajaan negeri menerusi MSNJ mempunyai beberapa agenda hala tuju bagi atlit-atlit SUKMA untuk masa depan mereka yang lebih terjamin. Antaranya dengan memperkenalkan beberapa inisiatif adalah seperti berikut:
1. Sukacita saya maklumkan bahawa Yang Amat Berhormat telah meluluskan peruntukan sebanyak secara one-off minimum RM500.00 kepada semua atlit, jurulatih dan pegawai SUKMA dan atlit para SUKMA yang akan memberi manfaat kepada 1,173 orang.
2. Majlis Sukan Negeri Johor akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi menyediakan laluan khas kepada atlit-atlit SUKMA Johor untuk melanjutkan pelajaran di bawah program pengajian luar kampus, Diploma Pengurusan Sains Sukan. Melalui MSNJ bantuan secara one-off RM1,000.00 akan diberikan kepada 30 atlit Johor.
3. Kerajaan negeri melalui MSNJ dan YPJ bersetuju untuk memperuntukkan kuota biasiswa dan pinjaman YPJ kepada 30 orang atlit bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
4. Kerajaan negeri menerusi MSNJ akan memperuntukkan RM288,000.00 bagi menyediakan peluang pekerjaan kejurulatihan kepada bekas-bekas atlit Johor.
5. Program Titanium X akan menggantikan Titanium 2020 yang merupakan program jangka pendek bertujuan untuk mempersiapkan kontinjen SUKMA bagi menghadapi SUKMA Johor 2022.
6. Seterusnya kerajaan negeri akan memperkenalkan Long Term Athlete Development Programme (LTAD) atau Rise Up 2030 sebagai usaha kerajaan negeri untuk memastikan Johor mempunyai ramai bakat-bakat muda yang berpotensi untuk digilap menjadi atlit yang berkualiti.
Insya-Allah dengan segala usaha dan perancangan ini atlit-atlit kita akan terus dibela dan venue-venue kita akan terus menjadi mercu tanda kebanggaan kita semua rakyat Johor. Sekian.
Ya. Kempas. Satu soalan tambahan sahaja.
Terima kasih Tuan Speaker. Kita menerima sumbangan semasa saya menjadi Menteri Besar dahulu sebanyak RM200 juta lebih daripada kerajaan persekutuan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengerusi untuk membina segala kemudahan ataupun fasilitas bagi kita menjadi tuan rumah. Dan saya difahamkan kita baru sahaja menerima lebih kurang RM40 juta lebih. Bilakah baki untuk kerajaan negeri Johor menuntut? Kerana banyak kontraktor-kontraktor pun berjumpa saya untuk memohon supaya pembayaran-pembayaran yang tertunggak itu dapat dibayar. Contohnya seperti KPRJ dan sebagainya. Jadi, perkara ini kita tidak boleh nak diamkan di samping kita juga memerlukan setahun RM15 juta untuk membayar elaun dan juga makan minum segala atlit-atlit yang di dalam latihan. Di samping itu, adakah para atlit yang berlatih itu masih diteruskan kalau kita tidak membuat sesuatu, bermakna kita kena menampung kos dia, jadi terima kasih.
Jemput, YB EXCO. Dua minit. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Kempas atas soalan. Pertamanya tentang pembayaran kepada kontraktor-kontraktor. Dari segi peruntukannya sudah turun daripada kerajaan pusat, dari segi pengurusan dia dah turunkan RM65 juta dan dari segi infrastruktur RM42 juta. Jadi peruntukan semuanya dah turun Yang Berhormat, dari segi kontraktor-kontraktor yang belum dibayar boleh dipanjangkan kepada saya ataupun Sekretariat SUKMA, Yang Berhormat Kempas untuk kita tengok kan dari segi pembayarannya insya-Allah.
Keduanya dari segi atlit-atlit kita Yang Berhormat, sekarang ini disebabkan pandemik mereka sedang berehat. Tetapi insya-Allah MSNJ telah, akan melaksanakan training dan
sebagainya bermula seawal Januari tahun depan untuk latihan mereka menghadapi SUKMA pada tahun 2022, insya-Allah Yang Berhormat. Terima kasih.
Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Kita tangguh sehingga 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 10.59 pagi
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua. Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020.Bill
Bismillahirahmanirahhim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan atas rundingan bagi bacaan kali kedua Enakmen Perbekalan 2021 Tahun 2020 dimulakan sekarang. Saya persilakan Bukit Pasir.
(Bacaan doa). Ya Allah, Engkaulah yang mempunyai segala kepujian, Kaulah yang berhak menerima segala kepujian, Kaulah yang berhak menerima segala kesyukuran. Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan, di tangan Engkau segala kebajikan. Kepada Engkaulah kembali segala urusan. (Bacaan doa).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al Haj, patik merafak sembah dan ucap setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat dipanjangkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-62. Patik panjatkan doa segala, semoga Allah SWT memberi kurnia kepada Duli Yang Mulia Tuanku kesihatan dan juga umur yang panjang serta dilimpahi kegemilangan dan kesejahteraan kepada semua yang berada di bawah pemerintahan Tuanku. Insya-Allah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mohon izin agar Bukit Pasir membaca perbahasan dengan bacaan surah At-Taubah ayat ke-51 (Bacaan Surah). Katakanlah yakni wahai Muhammad, tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan, yakni dengan kepercayaan itu, maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal. Dengan tafsiran daripada ayat al-Quran tersebut, Bukit Pasir mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana atas kurniaan rahmat dan keberkatannya. Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2021 berlangsung dengan jayanya, alhamdulillah. Ucapan tahniah dan selamat juga Bukit Pasir panjangkan kepada kerajaan negeri Johor atas rangkaan serta susunan yang terperinci lagi menyeluruh bagi Belanjawan Negeri Johor 2021. Justeru pada hari yang diberkati Allah SWT ini, Bukit Pasir ingin membahaskan berkenaan keberkesanan Belanjawan Negeri Johor 2021 serta impak positif kepada ketahanan ekonomi, keberdayatahanan kebajikan masyarakat, serta kesejahteraan masyarakat Johor. Belanjawan Negeri Johor 2021 merupakan sebuah belanjawan defisit dan dilihat sebagai langkah yang perlu. Bukan kerana kerajaan sengaja mahu over budget dengan izin, namun bagi membantu menjana semula ekonomi negeri Johor yang diunjurkan menguncup pada akhir tahun 2020 akibat pandemik. Selain itu perbelanjaan besar juga perlu dilakukan demi meletakan fokus membantu ekonomi rakyat yang telah terjejas teruk agar peruntukan bantuan yang sewajarnya dapat diberikan kepada masyarakat. Maka Bukit Pasir membentangkan point perbahasan yang pertama iaitu keberkesanan Belanjawan Negeri Johor 2021 kepada ketahanan ekonomi negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada sesi Persidangan yang lepas Bukit Pasir ada memberi cadangan agar kerajaan negeri memberi fokus kepada dua sektor yang dilihat tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penularan pandemik ini iaitu sektor pertanian dan penternakan. Alhamdulillah melalui Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2021 dilihat agenda Johor Tani menerima suntikan insentif yang tinggi berjumlah RM51 juta bagi berbagai jenis aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan. Bukit Pasir berpendapat ini merupakan tindakan kerajaan negeri yang terpenting demi menambah penghasilan bank makanan negeri atau pun food bank dengan izin. Pada persidangan yang lalu telah dinyatakan bahawa import bahan makanan negara pada tahun 2018 sebanyak RM54 bilion berbanding RM43 bilion pada tahun 2013. Manakala hasil eksport RM35 bilion pada tahun 2018 berbanding RM26 bilion pada tahun 2013.
Bukit Pasir percaya fokus kepada penghasilan sumber makanan tempatan dapat membantu mengurangkan kadar kebergantungan kepada hasil import. Dan pada masa yang sama negeri dapat menghasilkan produk makanan berkualiti untuk dieksport ke luar negara. Oleh sebab itu agenda belanjawan Johor Tani merupakan antara langkah yang amat berkesan dan membentuk ketahanan ekonomi negeri Johor dalam tempoh panjang.
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor tidak hanya fokus kepada Johor Tani sahaja. Agenda seperti Johor Digital, Johor Niaga serta Majestic Johor dengan izin turut menyumbang kepada ketahanan ekonomi melalui pelaburan asing kegiatan perniagaan serta aktiviti pelancongan fasa Covid-19. Maka berpandukan agenda-agenda belanjawan tersebut kerajaan negeri telah mempertimbangkan sebaiknya bagi membina daya tahan ekonomi negeri Johor pada tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, point kedua dari Bukit Pasir ialah berkenaan keberdayatahanan kebajikan masyarakat negeri Johor melalui belanjawan negeri Johor 2021. Suka Bukit Pasir untuk menyatakan bahawa persidangan yang lalu Bukit Pasir diberi kesempatan untuk membahaskan berkenaan pakej rangsangan ekonomi negeri Johor di mana hasil dapatan daripada perbahasan tersebut ialah kepentingan yang diletakkan oleh kerajaan negeri kepada masyarakat Johor serta petugas-petugas barisan hadapan adalah yang terdahulu dan utama. Pada kali ini terbukti sekali lagi bahawa kerajaan negeri Johor amat mengutamakan masyarakatnya yang memerlukan dan layak untuk diberi bantuan melalui agenda belanjawan Johor Berkebajikan ini.
Bukan sahaja bantuan wang tunai kepada golongan yang layak menerima malah skim pemberian air percuma bagi golongan B40, penganjuran jualan makmur Johor serta berbagai peruntukan dan bantuan khas dan bantuan khusus juga diberikan kepada yang disenaraikan. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai pelengkap kepada belanjawan negeri Johor 2021 kerajaan negeri telah menetapkan agenda-agenda yang perlu bagi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terpelihara. Agenda tersebut ialah Prasarana Johor, Modal Insan Johor, Masyarakat Desa Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani serta Johor Prihatin. Maka Bukit Pasir membahaskan point ke tiga dan yang terakhir iaitu belanjawan negeri Johor 2021 mampu memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat Johor.
Melalui agenda-agenda belanjawan yang disebutkan tadi kerajaan negeri telah meliputi setiap aspek penting demi kesejahteraan bangsa Johor. Dari segi sudut prasarana pentadbiran dan masyarakat desa, belia, orang kurang upaya dan pembentukan modal insan, peruntukan bagi kempen seperti kesedaran kesihatan, alam sekitar, pemeliharaan budaya, kesenian dan warisan Johor serta perpaduan kaum dan komuniti juga disediakan di dalam agenda belanjawan Johor Madani. Disimpulkan di sini bahawa sidang DUN Yang Berhormat sekalian bahawa belanjawan negeri Johor 2021 merupakan belanjawan yang berkesan serta memberi impak positif kepada ekonomi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor.
Sama-sama kita dalami sabda Rasulullahlah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu” hadis riwayat Muslim. Dengan itu Bukit Pasir berharap agar setiap pimpinan sama ada kerajaan mahu pun pembangkang bersatu hati dalam menerima Belanjawan Negeri Johor 2021 agar segala manfaat yang disediakan dapat disampaikan kepada masyarakat negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di samping perbahasan belanjawan Bukit Pasir juga berdiri pada hari ini untuk membawa amanah yang disampaikan oleh rakyat untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri Johor agar dipertimbangkan. Perkara pertama, sepanjang tempoh PKP Bukit Pasir sendiri telah berpengalaman bahawa tugas dan peranan yang dipikul oleh ketua masyarakat, ketua kampung serta penghulu adalah seperti kerja-kerja yang dijalankan oleh petugas barisan hadapan. Begitu juga bagi pemandu van jenazah yang bertugas bagi membawa jenazah untuk dikebumikan, adalah kiranya kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan kebajikan one-off dengan izin kepada mereka.
Perkara kedua, adalah berkenaan pusat tahfiz dan madrasah di negeri Johor yang telah ditutup, diarahkan tutup. Bukit Pasir memohon kerajaan negeri untuk mempertimbangkan kebenaran bagi pusat tahfiz dan madrasah beroperasi semula berdasarkan SOP yang ditetapkan. Hal ini kerana kakitangan tahfiz dan madrasah yang terpaksa berhenti kerja, tidak mendapat bantuan yang mencukupi bagi menampung kos sara hidup mereka. Perkara ketiga, Bukit Pasir bawakan adalah berkenaan dana peruntukan buat Pusat Asuhan Tunas Islam yakni PASTI, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) di negeri Johor.
Berikut merupakan pusat pendidikan di mana dalam sepanjang tempoh permulaan PKP sehingga kini tiada sebarang bentuk bantuan yang disalurkan kepada pusat ini. Bukit Pasir memohon kerajaan negeri untuk mempertimbangkan bantuan buat pusat asuhan ini agar peruntukan yang disediakan buat pusat seperti ini dapat disalurkan kepada mereka.
Perkara keempat adalah berkenaan pembangunan teknologi baja tinja yang dikeluarkan oleh penternak di negeri Johor. Bukit Pasir memohon negeri Johor agar mempertimbangkan kajian R&D bagi teknologi baja daripada hasil tinja ternakan agar dapat dipakai semula oleh sektor pertanian tempatan atau pun dikomersialkan dan dieksport ke luar negara. Ini dapat mengurangkan kebergantungan baja import yang terlalu tinggi perbelanjaannya buat petani kecil.
Perkara, kelima Bukit Pasir utarakan berkenaan permasalahan proses pecah tanah yang mengambil masa terlalu lama. Hasil ini sering menjadi isu apabila penduduk ingin membuat permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR). Proses yang memakan masa ini diakibatkan oleh kos pecah tanah, upah juruukur yang tinggi serta penduduk kampung tidak mampu. Penangguhan proses pecah tanah oleh penduduk kampung juga boleh menyukarkan urusan generasi yang akan datang. Bukit Pasir memohon agar kerajaan negeri dapat mengikhtiarkan cara bagi menggalakkan penduduk kampung agar mudah untuk menjalankan proses pecah tanah ini.
Perkara keenam, Bukit Pasir ialah berkenaan Rancangan Tempatan (RT) Daerah Muar 2030 yang dirancang di kawasan Jorak dikhuatiri tidak menepati cita-cita sebagai sebuah bandar mampan serta peneraju teknologi pintar. Hal ini kerana pembangunan yang dilihat sedang dirancang terutama industri kilang dibina berdekatan dengan kawasan perumahan kampung yang dihuni masyarakat setempat. Tambahan pula Muar sebagai daerah peneraju teknologi pintar sebagai mencapai masyarakat rendah karbon dilihat tidak perlu sedangkan dengan menambah tanaman pokok adalah lebih mudah untuk membantu mempercepatkan pencapaian bandar rendah karbon. Oleh itu Bukit Pasir memohon kerajaan negeri agar mengkaji semula perlaksanaan Rancangan Tempatan Daerah Muar 2030 agar tidak
menghimpit masyarakat tempatan dengan pembangunan yang tidak selari dan dengan ciri-ciri sebuah bandar lestari.
Perkara ketujuh dan yang terakhir daripada Bukit Pasir adalah berkenaan cadangan inisiatif memperkasa golongan veteran melalui bantuan perumahan kepada veteran negara. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai menghargai jasa-jasa veteran yang telah mengorbankan masa muda mereka untuk berjasa dan berkhidmat kepada negara dan bangsa, Bukit Pasir kira amatlah perlu kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan perolehan rumah kepada veteran negara. Selain itu inisiatif memperkasa perolehan rumah kepada veteran adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu golongan B40 termasuk veteran.
Justeru Bukit Pasir memohon pertimbangan kepada kerajaan negeri bagi menyediakan tapak yang dikira bersesuaian dan mampu dijadikan sebagai rizab kerajaan dengan izin bagi kem penempatan veteran berskala besar. Cadangan daripada Bukit Pasir dengan izin kiranya kerajaan negeri dapat menyediakan tanah di 3 zon terpilih iaitu Pagoh bagi sebelah Utara, Sembrong dan Tenggara bagi zon tengah dan Mersing bagi zon Pantai Timur.
Dengan yang demikian Bukit Pasir memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan perkara-perkara yang dicadangkan selain bertujuan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. Ia juga merupakan harapan dan amanah yang dituntut oleh penduduk seluruh negeri Johor agar kerajaan negeri terus meletakkan keharmonian dan kelestarian hidup rakyat itu setanding dengan lain-lain kepentingan dan kemajuan dan inspirasi buat negeri Johor. Akhir sekali izinkan saya berpantun. Sibuk berbahas Belanjawan Johor, Hajatnya rakyat sahaya memikul, hajat dikupas, hajat ditutur, hajat diharap dapat dikabul. Negeri Johor negeri sejahtera, dipandang tinggi rakyat jelata. Amanah Allah kita laksana, amanah manusia kita usaha. Dari sawah kita ke Pekan Sari, beli suasa di Kota Tinggi, selesai sudah bahas diberi, di lain masa bersua lagi. Wallahu’alam. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullah. Terima kasih kepada Bukit Pasir. Pantun itu nanti Kempas yang jawab. Jemput, Kempas.
Terima kasih Tuan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Sebelum saya meneruskan sikit ucapan saya ini, patik merafak sembah tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena Ulangtahun Keputeraan Ke-62 pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiul Akhir 1442 Hijrah. Semoga Allah peliharakan Sultan, Daulat Tuanku.
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberikan peluang untuk saya berucap bagi membahaskan Bajet Tahun 2021, yang bertajuk “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Saya rasa tajuk ini agak tergantung sedikit, kerana tahan itu daripada segi mana, tahannya? Kalau kemakmuran kita tahulah. Negeri Johor ini memang daripada dulu pun dah makmur. Walau macam mana pun, saya ingin menyatakan di sini kepada Tuan Speaker, dalam politik harus ada kejujuran, baik sebagai rakan politik atau atas nama dukungan secara piagam atau persefahaman secara bertulis atau secara konvensyen, secara tersurat atau pun tersirat. Penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar terhadap persetujuan lisan, tetapi terhadap perlaksanaannya. Jadi soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan. Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan. Apabila kejujuran politik diberikan keutamaan, jangan ada ‘telunjuk lurus, kelengkeng berkait’. Jadilah seperti air di dalam penutup, biar pun airnya berkocak, namun airnya tidak akan tumpah keluar jika penutupnya adalah kejujuran kita. Ini yang saya ingin tekankan dalam di mana, Yang Amat Berhormat menyatakan dalam tajuk ini, solidariti.
Kalau ini tidak ada kita menekankan dalam soal solidariti pun tidak ada maknanya. Apatah lagi dalam kerajaan yang ada pada hari ini di Johor, kita ada bukan sahaja Pakatan Harapan tetapi dalam kerajaan, kita mempunyai Perikatan Nasional dan juga Barisan Nasional dan juga PAS. Kalau kita mahu melihat supaya kemakmuran negeri Johor ini terus memacu ke hadapan lebih makmur daripada tahun-tahun yang lepas, kejujuran dan keikhlasan mestilah ada dalam soal ini. Kerana saya lihat, walau pun saya berada di dalam kerajaan, soal seperti ini agak nampak tipis.
Kejujuran macam mana Yang Berhormat Dato’? Kejujuran yang macam mana tu?
Dalam melaksanakan sesuatu. Pernah saya utarakan perkara ini di depan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Lantikan Ketua Kampung, Ahli Majlis Bandaraya dan juga Ahli-Ahli Majlis Tempatan, Pengerusi Yayasan dan sebagainya. Kita sebagai parti yang berada dalam satu komponen yang menubuhkan kerajaan pada hari ini, iaitu Parti Pribumi Bersatu tidak mendapat satu keadilan yang kita rasa boleh, bukan semata-mata kita hendak memuaskan tetapi kalau dapat keadilan kita boleh membantu untuk memperkasakan dan juga memakmurkan negeri Johor. Kerana kita tidak mahu di peringkat bawahan kalau mereka rasa apa yang mereka kehendaki dengan segala tanggungjawab yang dikemuka itu maka sudah tentulah gerak kerja dan juga segala amanah yang kita pertanggungjawabkan, mereka tidak akan melaksanakan dengan sepenuhnya dan juga sebaik mungkin. Kerana mereka hanya memikirkan kalau aku berhempas pulas, kalau aku melaksanakan tugas sedangkan pihak kerajaan tidak melihat tentang kebajikan diri mereka. Saya mengambil contoh, bukan sahaja dalam soal jawatan di pihak kerajaan, soal elaun Ketua-ketua Kampung yang akan diberhentikan dan juga yang sebahagian daripadanya telah diberhentikan daripada bulan tidak silap saya bulan Jun sehingga bulan September sehingga hari ini tidak dibayar. Bukanlah banyak sangat, RM200.00. Adakah walau pun kita berada di dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, kita tidak mampu untuk membayar elaun yang sekecil itu? Kerana impaknya amat besar apatah lagi bagi pihak kerajaan. Mereka-mereka ini kita boleh ibaratkan sebagai front liner, mereka bekerja tidak mengikut masa, waktu, hari, kadang-kadang terpaksa tinggalkan keluarga mereka, apatah lagi sekarang ini dalam keadaan COVID-19 kita menghadapi musim tengkujuh di mana sebahagian daripada kampung-kampung bahkan juga bandar-bandar mengalami banjir yang berterusan pada setiap minggu. Mungkin sehingga bulan 2, bulan 1 atau pun bulan 2, jadi kalau kebajikan mereka ini kita tidak ambil kira, maka kita tidak akan, matlamat untuk kita melihat supaya negeri Johor ini maju, makmur tidak akan tercapai. Kerana perkara-perkara yang kecil seperti itu kita masih lagi lepas pandang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya melihat bajet pada tahun ini adalah bajet defisit dalam sejarah 34 tahun kerajaan Johor berada semenjak kita ditubuhkan pada tahun 1895 dahulu. Jadi bukan sahaja kita lihat pihak kerajaan tidak berhempas pulas, begitu juga kerajaan-kerajaan yang lepas sebelum kerajaan yang sedia ada yang masih berumur 8 bulan ini mengambil tempat, untuk mempastikan supaya negeri Johor ini menjadi sebuah negeri yang aman, makmur dan maju bahkan juga dapat menandingi negeri-negeri lain. Pada hari ini kita defisit lebih kurang dalam RM249 juta, di mana kalau kita bandingkan belanjawan defisit yang kita alami ini, adalah setahun belanjawan negeri Melaka. Setahun setengah belanjawan negeri Kedah. Bukan kata kita hanya melihat angka, tetapi kita melihat itu adalah sebagai satu sumber kewangan yang boleh kita gunakan dengan berbagai-bagai bentuk dan juga bantuan-bantuan kepada. Jadi, perkara ini bukanlah semata-mata kita memikirkan, oh, kita terima dengan bulat-bulat kerana ini soal COVID-19 dan sebagainya. Tapi soal bagaimanakah untuk kita mempastikan walaupun kita mempunyai permasalahan dalam soal ini? Supaya negeri Johor ini akan lebih kekal. Kita tidak tahu pandemik COVID-19 ini sampai bila akan berakhir. Kalau mengikut jangkaan pemimpin-pemimpin besar dan juga pemimpin jiran tetangga kita, 2 tahun lagi pun belum tentu pandemik COVID-19 ini akan berakhir. Mungkin 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun. Sehingga
hari ini, vaksin yang digembar-gemburkan masih lagi belum mendapat kelulusan. Bahkan kita sendiri pun tidak nampak vaksin itu.
Di samping itu, kita jangan lupa juga, krisis ekonomi yang melanda Asia dan juga negara kita serta dunia di antara negara China dan Amerika masih berlanjutan. Pada suatu ketika dahulu, kita tidak mendapat pelabur dan juga perdagangan kita agak menurun, kita memberikan sebab itu salah satu daripadanya. Hari ini ditambah pula lagi dengan COVID-19. Mungkin perkara ini juga berlaku berterusan sehingga beberapa tahun yang akan datang. Jadi, soalnya sekarang macam manakah untuk kita menangani situasi supaya tahun-tahun yang akan datang ini kita tidak mengalami defisit lagi. Bahkan mungkin lebih besar daripada itu. Oleh sebab kita kena merangka sesuatu. Walaupun kadang-kadang idea-idea yang kita akan buat, ataupun Ahli-Ahli Yang Berhormat lemparkan ini agak ganjil, tetapi mungkin itu boleh memberikan sumbangan kepada pendapatan negeri kita. Contohnya, pada masa yang lepas mungkin kerajaan yang lepas agak nampak perkara ini akan berlaku. Walau pun menjadi isu kontroversi, tapi kalau tidak ada perkara ini berlaku, maka mungkin kita akan mengalami lebih dahsyat daripada itu, iaitu tentang kenaikan cukai. Walau pun ada kritikan. Walaupun kita memberi rebat 15% dan sebagainya, iaitu equivalent, dengan izin RM200 juta lebih. Tapi kita punya pungutan berapa ratus juta? Tapi kalau umpamanya kita tidak buat, pada peringkat awal dalam soal untuk kita menaikkan sedikit cukai itu, saya rasa defisit belanjawan tahun ini akan melebihi daripada angka yang kita lihat pada hari ini. Di samping itu, banyak perkara-perkara lain yang boleh menyumbang supaya pendapatan kita ini lebih pukal lagi. Umpamanya mengikut pengalaman saya, kita kenalah mempastikan supaya proses pemindahan hak milik, pertukaran hak milik dan juga perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan hasil bumi di mana kuasa Menteri Besar yang boleh meluluskannya perlulah dipercepatkan. Semasa saya mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Menteri Besar sebelum saya, ada 700 fail selama 2 tahun tidak diusik. Sedangkan fail-fail itu adalah merupakan wang kita. Jadi saya tidak mahu, dan juga saya menekankan di sini, janganlah berlaku seperti itu kalau kita hendak melihat kewangan kita ini stabil dan kukuh.
Di samping itu, banyak yang kita terlepas pandang. Kita di Johor ini mempunyai pantai daripada pantai timur dan juga pantai barat. Banyak jeti-jeti haram. Ada 85 jeti haram di dalam negeri Johor ini yang tidak mempunyai lesen sedangkan mereka itu menggunakan tanah-tanah kita. Kita kenal pasti kalau jeti-jeti ini boleh diberikan TOL ataupun Lesen Pendudukan Sementara, kita kenakan cukai. Kalau 85, kita tapis kita dapat 50-60, kalau kita kenakan cukai, bukankah duit itu? Di samping bukan sahaja kita dapat memungut duit, kita dapat menahan daripada pencerobohan secara haram. Mungkin mereka-mereka yang datang ini dalam situasi sebegini akan membawa jangkitan COVID. Membawa penyakit-penyakit yang lain, bahkan juga membawa penyakit pada ternakan dan juga pertanian kita. Tapi oleh kerana kita tidak memantau, bukan sahaja kita kehilangan hasil bahkan kita juga menerima padah yang buruk. Ini berlaku. Kita perlu gerakkan, kita cari benda-benda yang kita boleh mendapatkan hasil, kita jadikan hasil walaupun sesusah mana kerana keadaan kita akan lebih susah kalau kita tidak mempunyai wang yang cukup untuk kita menampung keperluan negeri kita ini. Di samping itu, saya juga mencadangkan dahulu cadangan mungkin diperlekehkan, berapa banyak tiang elektrik di negeri Johor ini yang menggunakan, yang diletakkan atas tanah kita yang tidak dibayar cukai sedangkan yang menggunakan tanah-tanah kita ini membuat keuntungan pada setiap tahun berbilion ringgit. Syarikat Tenaga Nasional menggunakan sub-sub stesen, menggunakan tanah kita adakah kita memungut cukai walaupun mereka memberikan pendapatan kepada rakyat? Tetapi kalau rakyat kebulur, tidak ada duit, negeri kita miskin, siapa yang akan membantu? Ini juga kita kena fikirkan. Jangan kata negeri lain tidak buat macam negeri Johor, kita mendahului negeri-negeri lain dari satu contoh.
Di samping itu, tentang levi kemasukan mereka-mereka pelancong daripada Singapura ataupun melalui Singapura. Kita kenakan levi RM20.00 kepada satu kenderaan tetapi yang
kita dapat RM5.00, lebih daripada itu diambil oleh kerajaan persekutuan sedangkan mereka menggunakan kemudahan kita, jalan kita rosak, kita kena tampung. Kenapa tidak kalau kita nak bagi pada kerajaan persekutuan kita bagi dia RM5.00, kita ambil RM15.00, kerana Yang Berhormat Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, di Johor ini kita tidak ada sumber lagi. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Mahkota, Senggarang, kayu balak dah tidak ada, dicuri pun. Kita tidak ada bijih timah, kita tidak ada sumber hasil bumi, bauksit ke? Bijih besi ke? Emas ke? Tak ada, yang ada adalah cukai tanah sahaja, itu sebab kita kena memikirkan bagaimanakah kita hendak mendapatkan pendapatan untuk menampung perbelanjaan yang pada setiap tahun makin bertambah. Tambah salah satu dari faktornya banyak kakitangan kerajaan yang pencen yang kita kena bayar pencen, Wakil Rakyat pencen pun kita kena bayar pencen dan sebagainya. Akan bertambah, esok kalau dah kawasan kita, hari ini 5 juta lebih esok kita kena buat persempadanan, bertambah lagi kerusi, Dewan Negeri dan juga Dewan Parlimen, maka sudah tentulah kerajaan akan membayar elaun-elaun dan sebagainya tetapi pendapatan kita semakin lama semakin berkurangan, so kita kena duduk. Ini ramai di kalangan kita ini yang mempunyai idea-idea yang baru untuk membuat bajet-bajet ini bukan hanya sekumpulan kecil. Panggil Wakil-Wakil Rakyat, mereka yang berpengalaman tidak kiralah daripada pembangkang ke dalam kerajaan, duduk, berikan idea, bukan dipanggil selepas benda ini siap, sebelum siap, dipanggil. Bukan hanya kita pendapat daripada rakyat yang kita ini juga rakyat. Ini pendapat yang mungkin tidak boleh, sukar untuk diterima tetapi saya rasa pendapat ini adalah baik.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang baru-baru ini mengisytiharkan Pasir Gudang sebagai bandar raya, tahniah. Di mana permohonan untuk menjadikan Pasir Gudang ini sebagai bandar raya adalah semasa saya dahulu. Begitu juga Pengerang untuk dinaikkan taraf sebagai perbandaran adalah masa kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Tahniah kepada kerajaan kerana dapat menjayakan tetapi kalau kita sudah menaikkan sesebuah kawasan itu sebagai bandar raya maka sudah tentulah banyak facilities-facilities yang perlu dinaikkan taraf. Antara bandar raya Johor Bahru dan juga bandar raya Pasir Gudang kerana kita menekankan soal lestari, soal kebersihan, soal sungai-sungai kita, ini dua bandar raya masih lagi tidak ada sistem kumbahan berpusat. Mereka hanya menggunakan sistem yang sudah lama, di mana di cas segala air-air yang kotor dan sebagai terus ke sungai, itu sebab Sungai Skudai, Sungai Pandan dan sungai-sungai yang berdekatan semuanya kotor. Kalau kita mengeluarkan modal membaik pulih sungai tetapi kalau kumbahan berpusat seperti yang dibuat oleh Indah Water Consortium tidak ada, maka sudah tentulah sampai bila pun sungai-sungai yang berada khususnya di bandar-bandar di Johor Bahru ini akan sentiasa kotor dan juga tercemar.
Pada tahun dua ribu lebih, saya tidak ingat exact tahun dia, kerajaan persekutuan membelanjakan lebih kurang RM700 juta untuk membaik pulih dan juga menaik taraf Sungai Segget dan juga Sungai Skudai, di mana sekarang? Apa jadi? Kita masih lagi hendak mengeluarkan peruntukan sebanyak RM700,000.00 untuk membuat penyelidikan. Sebenarnya sudah ada benda itu, ambil buka fail, buat apa kita nak membazir duit RM700,000.00 untuk kita ingin membaik pulih beberapa sungai sebagai mana yang disebutkan dalam bajet ini.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, akhir kata saya di sini menyarankan kalau kita lihat pada hari ini memanglah rakyat susah, kita tidak tahu bila kesusahan ini akan berakhir. Jadi, sebagai pemimpin, sebagai orang yang diberikan amanah, yang diberikan sokongan, saya mencadangkan di sini supaya kita yang berada di Dewan ini dapat menghulurkan bantuan dengan cara pemotongan elaun untuk ADUN-ADUN tidak kira pembangkang dan juga kerajaan 10%, untuk EXCO 15%, untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar 20%, selama satu tahun. Saya harap cadangan ini bolehlah diterima dan diluluskan, kita mulakan daripada tahun hadapan. Ini bukan perkara baharu, semasa pemerintahan Pakatan Harapan dahulu pun kita ada potong, betul tak betul? Jadi, saya rasa terimalah. Sekurang-
kurangnya kita rasa simpati terhadap kesusahan rakyat yang memberikan mandat kepada kita untuk mewakili mereka untuk menyampaikan suara dan keluhan hati mereka di dalam Dewan yang mulia ini.
Sebelah kiri dah setuju Yang Berhormat, sebelah kanan belum tentu lagi.
Sebelah kanan saya rasa setujulah sebab saya pun sebelah kanan. Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kerana saya tengok pun dah lebih dekat almost dua minit tetapi tidak ada lagi suara untuk saya berhenti, walau macam mana pun, saya mengikut kata orang itu undang-undang lah, terima kasih banyak-banyak kepada Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain. Terima kasih, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumusalam warahmatullah Yang Berhormat Kempas, seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Penggaram.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker. Pertamanya, Penggaram ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang untuk mengambil bahagian di dalam Perbahasan Belanjawan 2021. Penggaram juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada penjawat awam khasnya para barisan hadapan yang sentiasa berusaha tanpa mengenal erti lelah di dalam kita menghadapi pandemik COVID-19. Bukan itu sahaja, sepanjang 22 bulan pemimpin kerajaan, penjawat awam telah memberi kerjasama dengan semangat profesionalisme dan semangat ini masih diteruskan walaupun tampuk pemerintahan kerajaan telah bertukar tangan. Penggaram juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana peruntukkan sejumlah wang sebagai peruntukan ADUN Penggaram. Namun, Penggaram lebih berbesar hati jika jumlah peruntukan tersebut sama jumlahnya dengan yang diperuntukkan kepada ADUN dari kerajaan. Sebagai langkah meneruskan amalan demokratik yang telah dimulakan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram ingin membangkitkan isu berkaitan dengan jalan raya di sekitar bandar raya Batu Pahat, iaitu Jalan Bukit Pasir, Jalan Tanjung Labuh dan Jalan Kampung Rahmat. Sebagai jalan penghubung antara bandar dan desa, keadaan Jalan Bukit Pasir yang sibuk, sesak dan sempit mampu memberi ancaman kepada pengguna. Pembangunan desa-desa di pinggir bandar Batu Pahat yang telah pesat tidak selari dengan pembangunan infrastruktur jalan raya tersebut telah mengakibatkan simpang keluar dan masuk ke kampung-kampung dan taman-taman perumahan di sekitarnya yang kecil dan terlalu sibuk. Dengan kewujudan beberapa sekolah dan tempat-tempat berniaga mampu mengundang bahaya kepada pengguna pada bila-bila masa. Bagi mengatasi masalah ini, Penggaram berharap agar kerajaan mengambil langkah pembangunan fizikal drastik terhadap jalan ini bagi mengimbangi dan ia selari dengan pembangunan di desa-desa pinggir bandar khasnya di simpang keluar masuk Jalan Parit Kangkung. Di Jalan Tanjung Labuh pula, kapasiti penggunaan jalan tersebut yang meningkat ketika waktu-waktu kemuncak telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Keadaan longkang di tepi kiri dan kanan jalan tersebut yang tidak dapat menampung kapasiti air ketika hujan lebat mampu mengakibatkan jalan tersebut ditenggelami air. Penggaram berharap pihak kerajaan perlu mengambil langkah untuk menaik taraf sistem saliran longkang di tepi jalan tersebut yang merupakan jalan penghubung antara bandar dan desa khasnya dari kawasan Taman Bandar hingga Taman Banang Jaya.
Selain itu juga, kewujudan tapak lampu isyarat yang cacat di persimpangan keluar Kem Majlis Batu Pahat di Tanjung Labuh telah mengundang bahaya kepada pengguna jalan tersebut. Penggaram maklum sehingga kini tiada mana-mana pihak yang
dipertanggungjawabkan ke atas lampu-lampu tersebut memandangkan ia belum diserahkan oleh pemaju kepada mana-mana agensi kerajaan untuk di selenggara. Penggaram memandang serius perkara ini. Selain kecacatan lampu isyarat dan keadaan lampu-lampu jalan kurang upaya ini yang memberikan imej buruk terhadap kerajaan negeri, ia mampu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Selain itu, Penggaram ingin bertanyakan mengenai status projek pembangunan Jalan Kampung Rahmat ke Sri Gading yang dirancangkan siap pada awal tahun ini. Penggaram juga berharap kerajaan mampu mengambil tindakan yang wajar di dalam menyelesaikan isu di jalan-jalan negeri yang disebut tadi yang merupakan jalan-jalan penghubung antara desa dan bandar sebagai langkah ke arah memperdayakan ekonomi dan infrastruktur desa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram maklum Belanjawan 2021, memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi rancangan tempatan banjir, pengorekan sungai dan muara sungai di dalam pengurusan banjir. Penggaram berharap dengan peruntukan ini kerajaan memberi tumpuan kepada Sungai Batu Pahat di mana ia merupakan muara kepada Sungai Simpang Kanan, Sungai Simpang Kiri dan Sungai Bekok. Penggaram sebelum ini telah memaklumkan dalam Dewan ini, bagaimana seriusnya kawasan-kawasan perumahan di pesisiran Sungai Batu Pahat khasnya di sekitar Kampung Pinang Manan dan taman-taman perumahan sekitarnya yang menghadapi risiko banjir kerana air pasang dan surut. Air pasang dan surut bukanlah satu bencana alam yang menghantui beberapa hari dalam sebulan tetapi adalah fenomena harian dengan erti kata lain penduduk di kawasan-kawasan tersebut sedang berhadapan dengan risiko banjir ketika air pasang. Situasi akan bertambah buruk jika ia bertembung dengan cuaca hujan dan mengakibatkan banjir kilat yang serius. Penggaram berharap ada satu usaha untuk membina semula pintu air di Parit Molek dan benteng tanah sehingga Kampung Parit Lapis, Mukim Lima Batu Pahat. Kos keseluruhan pembinaan benteng tanah dan pintu air yang dianggar akan menelan belanja sekitar RM8 juta ini akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya sekali gus mampu mengelakkan renjatan ekonomi di bandar Batu Pahat. Penggaram sedia maklum Sungai Batu Pahat tidak pernah dikorek bagi tujuan mendalamkan sungai dalam tempoh 12 tahun sehingga kini. Kos yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM100 juta ini telah dimohon oleh JPS untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-11 tetapi malangnya ia tidak diterima. Maklumat yang diperolehi daripada pihak JPS jangkaan paras air akan meningkat sekurang-kurangnya 1cm bagi setiap tahun dan perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan negeri. Penggaram bersyukur di kalangan Ahli Dewan yang mulia ini kita mempunyai seorang ADUN yang juga merupakan Perdana Menteri. Jadi Penggaram berharap agar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat menggembleng usaha bersama bagi menamatkan penderitaan penduduk di sekitar Sungai Batu Pahat. Dengan menempatkan jumlah peruntukan yang telah dipohon oleh JPS ke dalam Rancangan Malaysia Ke 12.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Penggaram amat tertarik dengan dasar ke lestari alam sekitar serta matlamat menjaga ekosistem flora dan fauna yang direncanakan oleh kerajaan khasnya bagi program sifar sampah. Namun begitu Penggaram berharap program sifar sampah tidak menjadi seperti program hangat-hangat tahi ayam. Kita sedia maklum program seperti ini perlu dipupuk di semua lapisan masyarakat kerana tidak akan berhasil dalam tempoh waktu yang sekejap.
Ia memerlukan masa ke semasa, step by step dengan izin, kepada dari kepada kurang semakin kurang sehingga sifar. Tetapi Penggaram merasakan keperluan untuk kerajaan memulakan langkah pertama ini dengan mengambil inisiatif di dalam merancang sistem pengumpulan dan pengutipan sampah bagi kawasan di luar bandar, di mana ia di luar seliaan pihak SW Corp dan PBT.
Penduduk di kawasan luar bandar lebih cenderung untuk membuang sampah di kawasan-kawasan pengumpulan sampah di bandar yang berhampiran. Perkara ini menjadikan isu
lambakan sampah di sesetengah kawasan yang ditempatkan tong sampah untuk kutipan kontraktor, SW Corp kerana ia telah penuh terlebih dahulu sebelum tiba waktu kutipan seperti yang dijadualkan. Bukan itu sahaja, sesetengah mereka didapati akan membakar sampah sekali gus membuat pembakaran terbuka dan ia telah menyumbangkan kepada pencemaran udara di kawasan luar bandar.
Lebih teruk lagi ada yang memilih untuk membuang sampah di kawasan lapang, saliran-saliran seperti parit-parit, sungai-sungai yang mengakibatkan pencemaran dan juga boleh menjadi sebagai salah satu punca terjadi banjir kilat. Pun begitu, Penggaram amat memahami kekangan yang dihadapi oleh masyarakat di luar bandar apabila mereka tiada tempat pengumpulan dan pembuangan sampah yang disediakan. Oleh itu, Penggaram berharap kerajaan menyediakan satu mekanisme sebagai contoh melalui penyediaan Pejabat Daerah dan agensi lain di dalam pengurusan sampah di kawasan luar bandar.
Seperti yang dimaklumkan pada awal tadi Penggaram menganggap inisiatif ini sebagai langkah pertama, sebagai jaminan kerajaan mengorak langkah seterusnya di dalam menuju ke arah ke lestari alam sekitar dan kesihatan serta pembudayaan ekonomi dan infrastruktur desa. Jika tiada langkah pertama, tak akan ada langkah seterusnya. Yang Berhormat Tuan Speaker di dalam belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis lalu Penggaram dapati tiada disentuh mengenai peruntukan bagi program bagi Kad Sihat Johor. Seperti yang kita sedia maklum Program Kad Sihat Johor telah dijalankan sejak 2 tahun yang lalu, di atas inisiatif Pakatan Harapan. Dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan dari bangsa Johor.
Selain telah memberi manfaat kepada keluarga dan individu daripada golongan B40 ia juga bertujuan mengurangkan kesesakan di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan, di dalam menerima pesakit-pesakit luar bagi kes-kes kurang serius seperti demam. Tambahan lagi ketika pandemik COVID-19 sedang menyerang negara, Penggaram berpendapat ianya menjadi keperluan supaya rakyat mempunyai pilihan lain iaitu klinik-klinik panel untuk mendapatkan rawatan. Penggaram ingin penjelasan berkaitan Program Kad Sihat Johor, adakah ia masih diteruskan atau terdapat penambahan kuota untuk pengambilan baru ataupun ia telah dimansuhkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan statistik dari Polis DiRaja Malaysia berkaitan kes bunuh diri, sebanyak 266 kes bunuh diri telah dilaporkan di negara ini, sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac hingga Oktober 2020. Secara purata seramai lebih kurang 30 orang didapati membunuh diri di dalam tempoh sebulan atau seorang pada setiap hari. Berdasarkan statistik ini di peringkat persekutuan, Penggaram juga ingin mendapat maklumat dari kerajaan berkaitan angka kes bunuh diri yang datang dari negeri Johor mengikut pecahan berdasarkan daerah-daerah.
Di mana hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga telah menjadi punca utama seseorang itu nekad meragut nyawanya sendiri. Sebagai langkah pembangunan modal insan serta merenung permasalahan seperti ini Penggaram berharap agar kerajaan negeri dapat memperuntukkan sejumlah bajet bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling yang lebih efektif dan menyeluruh kepada masyarakat melalui agensi-agensi kerajaan yang sedia ada seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahu pun NGO-NGO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan Bajet 2021 Penggaram maklum bahawa kerajaan negeri merancang akan membina 12 buah sekolah agama di dalam fasa 6 bagi tempoh 5 tahun akan datang, dengan anggaran peruntukan berjumlah RM85 juta. Pembinaan baharu sekolah-sekolah ini dikatakan dapat menyediakan sebanyak 12,000 tempat belajar bagi anak-anak Islam di negeri Johor. Penggaram ingin mendapatkan
kepastian adakah pembinaan sebanyak 12 buah sekolah agama ini termasuk pembinaan baru bagi Sekolah Agama Bukit Pasir, Batu Pahat.
Penggaram ingin mengetahui apakah status Sekolah Agama Bukit Pasir, di mana dia telah dibina atas tanah milik kerajaan persekutuan. Keadaan sekolah agama ini yang daif dan tidak selesa untuk suasana pembelajaran serta pembinaannya di atas tanah kerajaan persekutuan menyebabkan ia seperti diketepikan oleh kerajaan negeri dari menerima sebarang peruntukan untuk menaik taraf, apatah lagi untuk menerima sebarang peruntukan dari kerajaan persekutuan kerana ia merupakan sekolah milik kerajaan negeri.
Penggaram berharap ada satu perbincangan yang wajar di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk menyelesai perkara ini, ataupun kerajaan negeri perlu mengambil langkah drastik dengan membina sekolah baru bagi murid-murid sekolah agama tersebut. Penggaram yakin warga Sekolah Agama Bukit Pasir serta masyarakat Islam di sekitar sekolah ini sentiasa mengharapkan suasana yang kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, berdasarkan kerangkuman berbagai kaum serta semangat muhibah bangsa Johor Penggaram juga berharap agar kerajaan menyalurkan setengah-setengah peruntukan kepada Sekolah-sekolah Menengah Cina yang juga telah menyumbang kepada pembangunan modal insan di negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, akhir sekali sebagai langkah mengangkat dan memperkasakan institusi Wakil Rakyat serta merealisasikan amalan demokrasi, Penggaram berharap semangat ini dapat diperluaskan ke peringkat yang seterusnya seperti di peringkat daerah. Penggaram berasa ada keperluan untuk setiap ADUN-ADUN pembangkang dijemput hadir ke setiap Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah di daerah masing-masing.
Selain merupakan ADUN yang dipilih oleh rakyat secara sah, ia juga sebagai penghormatan dan penghargaan kepada masyarakat di 27 kawasan DUN yang diwakili oleh kami, agar mendapat manfaat sewajarnya merentasi ideologi politik. Janganlah kerajaan memandang kami sebagai musuh tetapi anggaplah kami sebagai rakan kongsi yang sama-sama mahu memberi khidmat dan jasa bakti kepada negeri yang kita cintai ini. Sekian,terima kasih.
Terima kasih Penggaram. Seterusnya saya persilakan Skudai, jemput.
Salam sejahtera, patik mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah tahniah kepada Tuanku Sultan Johor Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar sempena hari keputeraan tuanku pada 22 November yang lalu. Semoga Tuanku dan seluruh kerabat Raja sentiasa sihat walafiat, Daulat Tuanku. Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker kerana telah memberi peluang kepada Skudai untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Tahun 2021. Salam harapan Johor kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini. Perbahasan saya pada hari ini boleh dirumuskan dalam 3 aspek utama. Dengan menyentuh 5 isu harap Yang Berhormat Tuan Speaker memberi kelonggaran dari segi masa untuk saya habiskan semua isu yang ingin saya bincangkan. Yang Berhormat Tuan Speaker,Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan program Digitalisasi PBT Johor dengan melaksanakan sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online , namanya panjang di 16 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor seperti yang telah ditetapkan dalam Belanjawan Tahun 2021.
Para 77 teks ucapan belanjawan 2021 juga menyebut kesediaan digital tidak lagi menjadi pilihan. Perubahan ke arah Era Pendigitalan bukan lagi satu paksaan, ia mesti dilakukan sekarang. Embracing the digital agenda is a must and a necessity, it’s not a luxury not even a choice. Pendigitalan pentadbiran bukan sahaja satu trend yang memaksa kita dari segi
pemakaiannya malah telah menjadi satu kayu uji tentang daya saing kita dalam dunia yang penuh dengan pelbagai cabaran sekarang.
Kita perlu menjadikan dasar one time one counter dengan izin, sebagai sasaran yang perlu dicapai dalam tempoh yang terdekat, kalau boleh sebelum pilihan raya umum yang akan datang dasar ini dapat dilaksanakan. One time one counter bermaksud segala urusan dengan kerajaan terutamanya Kerajaan Tempatan hanyalah perlu berurusan di satu kaunter sebanyak sekali sahaja. Dengan pelaksanaan dasar one time one counter, kita boleh mengurangkan karenah birokrasi dan mengujudkan satu suasana pelaburan yang baik untuk menggalakkan pertumbuhan usahawan tempatan dan juga pelaburan dari luar.
Saya mengalu-alukan usaha pendigitalan kerajaan terutamanya dalam peringkat Kerajaan Tempatan. Bagaimana pun perlu menjelaskan butiran program digitalisasi PBT Johor yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, adakah sistem One Stop Centre 3.0 Plus Online yang diumumkan itu sesuatu sistem yang baru. Berapakah perbelanjaan yang terlibat secara keseluruhannya. Apakah perbezaan sistem ini dengan sistem epbt yang digunakan sekarang. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pendigitalan pendigitalan bukanlah satu perkara yang baru terutamanya bagi Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor.
Inisiatif pendigitalan PBT telah bermula seawal tahun 2010, 10 tahun yang lalu di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Melalui pelaksanaan sistem epbt yang bernilai RM41.74 juta. Daripada jumlah tersebut, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM9.94 juta manakala bakinya ditanggung oleh kesemua 16 PBT di negeri Johor. Pada tahun 2018, Yang Berhormat Tuan Speaker, apabila berlakunya peralihan pentadbiran kepada Pakatan Harapan, kami dapati bahawa Sistem epbt yang telah dilaksanakan selama 8 tahun, bayangkan 8 tahun tidak mencapai matlamat yang disasarkan kerana keseluruhan sistem ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Bagaimanapun, peralihan kuasa ini tidak menghentikan atau pun melembap keseluruhan inisiatif berkenaan. Walau pun hanya dimanfaatkan sebanyak 70% sahaja. Dengan membabitkan hanya 5 PBT yang menyediakan platform pembayaran cukai dan kompaun secara online sepanjang tempoh pelaksanaannya, Yang Berhormat Tuan Speaker. Kerajaan Pakatan Harapan tidak membuang terus sistem epbt ini, dan digantikan dengan sesuatu yang baharu, namun kami memperkukuhkan dengan melengkapkan sistem epbt serta menekankan kepada Kerajaan Tempatan keperluan penggunaan kesemua modul Sistem epbt dalam meningkatkan urus tadbir Kerajaan Tempatan. Ini..
Masuk point yang kedua, Yang Berhormat. Itu baru point yang pertama.
Ya.
Dah 5 minit dah.
Aa ah.. Point itu penting.
Ha, point yang kedua, Yang Berhormat.
(ketawa). Ini kerana kita faham, bahawa setiap sen yang kita belanjakan itu adalah titik peluh pembayar cukai dan kami tidak berhasrat untuk mensia-siakan usaha yang telah dicurahkan selama itu, serta untuk mengelakkan sebarang pembaziran yang mungkin berlaku. Setelah tahun pertama di perintah oleh Pakatan Harapan, penggunaan modul Sistem epbt telah mencatat lebih 90% dengan menyaksikan sebanyak 9 PBT telah menyediakan Sistem e-Khidmat yang merangkumi pembayaran cukai tanah, cukai pintu, pembayaran kompaun, pembaharuan lesen perniagaan dan penempahan kemudahan PBT secara dalam talian, atas dengan izin, online.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Sistem epbt ini telah mencecah usia 10 tahun, melalui 5 pentadbiran Menteri Besar daripada parti yang berbeza. Namun, sehingga hari ini masih belum mencapai penggunaan secara 100% dan masih terdapat sebenarnya, masih terdapat PBT yang masih belum menyempurnakan proses pemindahan data. Padahal perkara ini juga pernah ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara. Jadi, bagaimanakah sesuatu sistem yang baru, yang diumumkan pada Khamis yang lepas dapat disesuaikan oleh semua PBT dalam masa yang tersingkat supaya rakyat mendapat manfaat daripadanya? 10 tahun telah berlalu, dan kita baru sahaja dalam proses hendak mendekati penggunaan 100% Sistem epbt. Adakah kita perlu menunggu 10 tahun lagi, untuk membangunkan dan menyesuaikan diri dengan sistem yang baru? Adakah penggunaan dan penyesuaian diri kepada sistem yang baru ini akan mensia-siakan usaha yang dicurahkan dalam 10 tahun yang lalu ini? Saya bimbang, sistem yang baru ini akhirnya akan melambatkan lagi usaha pendigitalan pentadbiran. Dan, paling menyakitkan hati sekiranya perkara ini menjadi satu projek gajah putih. Justeru, sekali lagi Skudai memohon supaya kerajaan menjelaskan tentang segala butiran System One-Stop Centre 3.0 Plus Online dengan menyatakan pembekal sistem, kualiti pengurusan sistem, nilai pemberian perkakasan dan cara latihan modal insan. Sehubungan itu, saya juga menggesa kerajaan untuk memperincikan terlebih dahulu, Program Digitalisasi PBT dan System One-Stop Centre 3.0 Plus Online. Panjang nama itu. Saya juga menyarankan supaya kerajaan negeri Johor menambah baik sistem sedia ada, iaitu Sistem epbt dengan menambahkan modul-modul sistem jika ada yang terkurang, meningkatkan tahap keselamatan sistem ini dan mengurangkan masa pemprosesan sesuatu transaksi. Penambahbaikan dan pengukuhan sistem yang ada sekarang dapat mengelakkan pembaziran sekali gus memastikan bahawa usaha pendigitalan ia berkesan daripada sistem yang telah digunakan selama 10 tahun ini dan mengelakkan tempoh penyesuaian diri dengan sistem yang baru serta memberikan manfaat kepada rakyat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita maklum bahawa, kejadian banjir kilat semakin sukar untuk dijangka disebabkan oleh faktor perubahan iklim dan juga kuantiti hujan yang semakin sukar untuk dijangka. Bagaimana pun, banjir kilat yang terlalu kerap berlaku tidak sewajarnya dipandang ringan sebagai banjir semata-matan banjir kilat tetapi perlu diberikan penekanan untuk mencari jalan penyelesaiannya yang berkesan untuk mencari masalah yang telah menghantui penduduk setempat. Terdapat 3 hotspot banjir kilat yang sering berlaku di kawasan DUN Skudai sekiranya hujan lebat turun secara berterusan, iaitu Kampung Poh Chi Leng dan Kampung Laut serta kawasan Jalan Makmur 19 hingga 24, Taman Damai Jaya, Skudai. Kawasan-kawasan tersebut telah mengalami sekurang-kurangnya 4 kali banjir kilat pada tahun ini sahaja. Skudai ingin membangkitkan bahawa sebahagian Kampung Poh Chi Leng dan Kampung Laut sering mengalami banjir kilat semasa hujan lebat. Projek Kem Skudai yang terbengkalai antara punca utama kejadian banjir kilat di kedua-dua kampung ini yang bertempat di tepi Sungai Skudai. Keadaan ini pernah boleh dikatakan selesai atau pun menjadi reda untuk seketika selepas isu kolam takungan kelodak di Kem Skudai di selesai, dan kerja naik taraf Sungai Skudai dijalankan di sekitar di Kampung Poh Chi Leng. Bagaimana pun, kerja-kerja selenggaraan wajarlah dijalankan secara berterusan dan konsisten supaya masalah yang sama tidak berulang. Masalah banjir kilat berulang lagi, untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan telah menjadi lebih teruk apabila banyak pembangunan taman perumahan baru di bahagian hulu Sungai Skudai. Skudai menyeru supaya kerajaan mewujudkan kerjasama rentas jabatan dengan menubuhkan taskforce yang merangkumi beberapa agensi berkaitan, terutamanya Kementerian Pertahanan Malaysia, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya membincangkan dan merangka jalan penyelesaian secara kolektif dan menjalankan kerja-kerja selenggaraan untuk mengurangkan risiko banjir kilat yang berlaku di kawasan-kawasan tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kawasan Jalan Makmur 19 hingga 24, Taman Damai Jaya yang terletak di tepi Sungai Melana antara lokasi hotspot yang sering mengalami banjir kilat sepanjang 30 tahun yang lalu. Walaupun terdapat kolam takungan air dan rumah pam dibina berdekatan dengan lokasi tersebut, namun saya terima aduan daripada penduduk tersebut bahawa rumah pam tersebut tidak berfungsi secara efisien untuk menyedut air ke Sungai Melana dan masalah banjir kilat tetap berlaku di kawasan tersebut. Saya meminta, pihak yang berkenaan, menaik taraf pam tersebut supaya pembinaannya dapat mencapai matlamatnya dan menyelesaikan masalah banjir kilat di sana, mengurangkan kerugian yang dialami oleh penduduk setempat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, cadangan untuk menaik taraf BAKAJ kepada Lembaga Pengurusan Air Johor, perlulah mengambil iktibar daripada pengalaman lama dan kelemahan terdahulu serta dapat meningkatkan usaha dalam memelihara dan memulihara sumber air mentah di negeri Johor. Keadaan di mana beberapa jabatan yang berkaitan dengan pengurusan sungai, empangan dan atau pun sumber air mentah yang lain, bekerja secara berasingan atau dengan izin, work in silo, haruslah dielakkan dan diberhentikan. Lembaga Pengurusan Air Johor juga perlulah diberikan kuasa yang lebih besar untuk menguatkuasakan Enakmen Air 1921 pindaan 2014. Antara perkara yang kritikal dan perlu diberikan keutamaan tertinggi ialah pemulihan dan pemeliharaan kawasan tadahan air. Sebanyak 13 kawasan tadahan air seluas lebih kurang 409 km3 yang menjadi sumber air utama dalam negeri Johor telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air. Bagaimanapun, pewartaan ini tidak mencukupi jika dibandingkan keluasan keseluruhan untuk 15 empangan yang terdapat di negeri Johor yang meliputi keluasan sebanyak 922.36 km3. Ini belum termasuk kawasan tadahan air yang sepatutnya jauh lebih luas memandangkan kita mempunyai 45 tempat pengambilan air bagi 45 loji rawatan air yang seharusnya dipelihara kawasan tadahan airnya. Isu air paip yang berbau pandan yang berlaku pada 20 hingga 30 Julai yang lalu, wajib menjadi peringatan kepada kita semua. Mungkin ada di kalangan kita yang berasa mujur kerana air itu bau rasa pandan, tetapi bukannya bau sampah. Ini tidak seharusnya menjadi sikap kita terutama apabila berhadapan dengan isu bekalan air yang menjadi perkara asas kehidupan seharian kita. 4 bulan selepas kejadian air pandan ini, kerajaan masih gagal memaklumkan kita siapakah pihak yang terlibat? Apakah tindakan yang telah dikenakan? Dan, ini juga kita saksikan dalam sesi soal jawab pada hari semalam. EXCO langsung tiada jawapan. Perkara ini bukan sahaja tidak wajar berlaku, Yang Berhormat Tuan Speaker, malah tindakan berjaga-jaga sewajarnya diambil lebih awal supaya segala aktiviti manusia di dalam kawasan tadahan air haruslah diharamkan atau sekurang-kurangnya dikawal rapi dengan mematuhi SOP yang ketat supaya risiko pencemaran air pada sumber air mentah ini dapat dikawal pada tahap yang paling rendah, paling minimum. Saya berharap, penubuhan Lembaga Pengurusan Air Johor ini dapat mengisi kekosongan ini dan juga menambah baik segala kekurangan yang wujud sekarang.
Pandan itu berpunca dari apa jangkaannya, Yang Berhormat? Ia daripada punca apa sebenarnya?
Yalah. Yang Berhormat Tuan Speaker, Skudai telah menerima banyak aduan gangguan bekalan air daripada penduduk di sekitar Taman Ungku Tun Aminah dan Bandar Selesa Jaya akibat paip pecah dan paip bocor. Berdasarkan pemerhatian pejabat saya, terdapat sekurang-kurangnya 447 kes paip pecah dan paip bocor didapati berlaku di kawasan Taman Ungku Tun Aminah pada tahun 2019 dan terdapat 509 kes sehingga bulan Oktober tahun ini. Manakala di kawasan Bandar Selesa Jaya pula, 211 kes pada tahun 2019, tahun lepas dan 138 kes pada sehingga bulan Oktober tahun ini. Kawasan Skudai terdiri daripada banyak kawasan perumahan yang lama dan sistem perpaipan mengalami penuaan yang serius dan ini merupakan antara punca utama aduan paip pecah dan paip bocor banyak berlaku. Justeru, penggantian dan penambahbaikan saluran paip lama bagi mengatasi masalah ini di kawasan penggunaan tinggi amat diperlukan. Bekalan air yang sering terganggu bukan sahaja menimbulkan keresahan di
kalangan penduduk setempat, malah operasi industri dan juga perniagaan turut akan terkesan. Masalah gangguan bekalan air bukan sahaja, saya yakin bukan sahaja berlaku di Skudai, ia juga berlaku di kawasan perumahan dan perkedaian lama. Oleh itu, Skudai mencadangkan kerajaan memanfaatkan peruntukan Rancangan Bekalan Air Negeri Johor yang bernilai RM20.1 juta dalam belanjawan persekutuan pada tahun hadapan supaya meringankan masalah gangguan bekalan air di kawasan Skudai dan kawasan lain.
Selain itu kerajaan juga boleh mohon peruntukan NRW National yang bernilai RM259.0 juta untuk mengatasi masalah tersebut. Skudai juga bertanya sama ada kajian yang menyeluruh terhadap air tidak berhasil (NRW) serta pemetaan dengan izin, mapping, rangkaian perpaipan bekalan air telah dijalankan untuk daerah Johor Bahru termasuk kawasan Skudai yang kerap mengalami gangguan bekalan air kerana penuaan sistem perpaipan. Sekiranya tidak, sekiranya kajian belum terlaksana, maka saya mohon supaya kerajaan negeri melantik pakar perunding secepat mungkin demi mengenal pasti lokasi paip yang kritikal khususnya untuk kawasan Taman Ungku Tun Aminah. Kajian tersebut perlu mengambil kira faktor tahap kelemahan paip yang berbeza supaya Pelan Rancangan Penaiktarafan Sistem Perpaipan dapat dilaksanakan dengan mengikut keutamaan. Walaupun kerajaan sentiasa menghadapi kekangan dari segi peruntukan kewangan, kerja penggantian dan penambahbaikan saluran paip harus dijalankan secara berfasa bermula daripada kawasan kritikal seperti di Taman Ungku Tun Aminah.
Yang Berhormat, Yang Berhormat...
Untuk membantu rakyat dan industri setempat yang lama dibelenggu masalah bekalan air.
Yang Berhormat ni point ni ke berapa ni?
Mana?
Point yang ke berapa ni?
Point yang keempat dah habis dah. Penghujung point yang keempat.
Untuk makluman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Holding telah mengumumkan bahawa Ranhilll SAJ dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan memperuntukkan kira-kira RM3.4 bilion dalam tempoh 7 tahun bermula tahun 2018 bagi melaksanakan Program Pemacu Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) di negeri Johor, supaya mengurangkan pembaziran air kepada hanya 5% berbanding dengan 24.12% pada tahun 2018. Ini satu inisiatif yang baik. Skudai memohon kerajaan menjelaskan butiran projek tersebut secara terperinci serta status kemajuan projek tersebut dan data NRW yang terkini di negeri Johor. Saya berharap penduduk Skudai juga dapat manfaat daripada usaha murni ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, ini yang terakhir. Pelan Pengiktirafan Peranan Ahli Pembangkang dan Dewan mulia ini...
Kata dah terakhir. Masa dah 22 minit Yang Berhormat. Masa dah 22 minit.
Janganlah berhenti setakat pemberian peruntukan dan lebih pengiktirafan kepada Ketua Pembangkang. Saya berharap Konvensyen Westminster dapat diamalkan dalam Dewan yang mulia ini dan peranan Ahli-Ahli Dewan dapat dipertingkatkan sama ada bagi pihak back bencher mahupun ADUN pembangkang. ADUN pembangkang wajar dilihat sebagai pelengkap kepada kerajaan dan bukannya musuh seperti yang disebut
oleh Yang Berhormat Pengerang tadi. Apa salahnya jika ADUN pembangkang dibenarkan menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk mengetahui dan memberi pandangan tentang perkembangan terkini pada peringkat daerah.
Skudai juga ingin mengesyorkan supaya beberapa Jawatankuasa Pilihan di bawah Dewan Negeri ditubuhkan supaya isu-isu penting yang menjadi fokus rakyat diberikan perhatian yang sewajarnya. Dan, mencari penyelesaian yang berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dengan adanya keanggotaan daripada pihak bukan kerajaan, saya yakin bahawa cadangan dan dasar yang komprehensif dan memenuhi kepentingan semua pihak dapat ditemui hasil daripada perbincangan dalam Jawatankuasa Pilihan ini.
Sekian.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sekarang berhadapan dengan senario baru yang tidak pernah kita alami sebelum ini. Bukan sahaja cabaran pandemik COVID yang dihadapi bersama di seluruh dunia, malah keseluruhan rakyat, keseluruhan masyarakat juga terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baru termasuklah dalam politik dan urus tadbir kerajaan. Pertama kali dalam Dewan yang mulia ini, bilangan Ahli Yang Berhormat kerajaan dan pembangkang berbeza hanya dua orang sahaja. Inilah masanya kita memulakan budaya politik yang baru dan menjunjung tinggi sistem demokrasi berparlimen Westminster. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Skudai. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Semerah.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih dahulu patik merafak sembah, menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Alhaj, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 hijrah.
Terima kasih kepada Tuan Speaker atas kebenaran memberikan ruang dan waktu untuk Semerah memberikan pandangan dan idea dalam sidang DUN kali ini. Apatah lagi ia melibatkan satu pembentangan perancangan belanjawan yang getir bagi menghadapi tahun mendatang. Kita maklum bahawa pada minggu lepas, 26 November, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar telah pun membentangkan Belanjawan Johor 2021 dengan perangkaan tahun 2021 hasil dianggarkan sebanyak RM1,609.07 juta dan perbelanjaan sebanyak RM1,827.21 juta dengan defisit sebanyak RM248.14 juta.
Walau bagaimanapun, Semerah ingin melontarkan persoalan untuk mendapatkan penjelasan berhubung beberapa anggaran. Anggarannya seperti berikut untuk kod hasil bukan cukai 77000 iaitu sumbangan dan bayaran ganti daripada luar negeri dan sumbangan tempatan sebanyak RM50 juta. Kerana kalau kita lihat, dalam buku belanjawan ini, pendapatan pada 2019 kita tak ada dan anggaran tahun 2020 juga kita tidak ada, tetapi anggaran 2021 kita ada sebanyak RM50 juta.
Selain daripada itu, untuk kod hasil 62801, Cukai Tiket Wayang sebanyak RM34, 000,551.00 kalau kita lihat pendapatan pada 2019 ialah sebanyak RM29,203,521.89 manakala anggaran pada tahun 2020 ialah RM28 juta dan anggaran yang dipinda ialah sebanyak RM7.610 juta tetapi kita untuk anggaran 2021 sebanyak RM34.551 juta dalam masa yang sama isu pandemik banyak panggung-panggung wayang yang telah ditamatkan beroperasi dan banyak yang beroperasi pun tidak dapat beroperasi. Jadi, selain daripada itu, ialah kod hasil 62802 Cukai Tiket Taman Tema iaitu anggaran pada 2021 ialah
sebanyak RM5 juta yang mana pada pendapatan 2019 hanya RM3.09 dan anggaran pada 2020, RM30 juta dan dipinda kepada RM1.2 juta dan anggaran kita pada tahun 2021 ialah sebanyak RM5 juta. Jadi, saya inginkan penjelasan kerana kita tahu taman tema kita seperti Legoland sekarang pun tak ramai yang datang kerana masalah kemasukan pelancong-pelancong asing ke negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, Semerah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua front liners tidak kira daripada KKM, Bahagian Keselamatan dan juga NGO yang bekerja siang dan malam bagi memastikan keselamatan kesihatan rakyat Johor. Kami mengucapkan terima kasih. Kita faham bahawa pandemik COVID 19 ini bukan sahaja melanda di Johor tetapi di seluruh dunia dan daripada itu, ramai dari mereka hilang punca pekerjaan dan juga punca pendapatan akibat daripada penutupan serta pengecilan operasi. Oleh itu, kita tahu ramai di kalangan mereka mengalami masalah kemurungan dan juga depresi.
Menurut jawapan daripada EXCO Kesihatan, dari bulan Mac 2020 hingga Oktober 2020, seramai 439 kes bagi depresi ataupun kemurungan dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan. Mereka adalah dari umur 20 hingga 59 tahun. Selain daripada itu juga, kita lihat serangan jantung bagi tahun daripada Mac hingga Oktober 2020, daripada umur 20 hingga 59, seramai 3,184 mereka menerima serangan jantung yang dimasukkan ke wad manakala seramai 1,080 bagi hipertensi. Jadi kita tengok dan kita lihat dalam isu COVID ini, ramai kalangan daripada masyarakat kita ini umur muda 20 hingga 59 mengalami masalah-masalah seperti depresi, hipertensi dan juga masalah jantung.
Oleh yang demikian, Semerah mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bersedia dengan permasalahan psikiatri yang akan melanda rakyat Malaysia dengan menambah jumlah pakar psikiatri di semua hospital di seluruh negeri Johor dan menyediakan pelbagai program bagi menyokong pesakit yang mengalami masalah depresi ataupun kemurungan.
Ya, kita maklum Yang Berhormat Speaker, masalah COVID19 ini dan kita tahu bahawa kerajaan negeri telah pun membeli vaksin sebanyak 12.68 juta dos daripada pihak Pfizer dan ianya mencapai sehingga keberkesanan sebanyak 90%. Saya cuma ingin sentuh, adakah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersedia dengan konsep penyimpanan vaksin ini kerana kalau kita lihat vaksin ini memerlukan -70 darjah Celsius simpanan. Jadi, kalau kita lihat kos vaksin lain tetapi kita perlu lihat daripada kos penyimpanan vaksin ini. Ini saya harap kerajaan negeri dapat memikirkan lebih awal apabila vaksin itu telah diterima oleh kerajaan persekutuan bagaimana Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menyimpan vaksin-vaksin ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu utama yang kita lihat ialah isu denggi. Saya rasa Yang Berhormat EXCO, saya pun dulu itulah denggi adalah masalah utama dan kita tahu sehingga bulan Oktober 2020 sebanyak 9,931 kes denggi di negeri Johor, di mana Batu Pahat sebanyak 234. Jadi, saya berharap kerajaan ini dapat memastikan langkah-langkah perlu bagi mengatasi masalah ini termasuklah bagaimana menghadapi sikap masyarakat yang mengambil sikap sambil lewa dalam isu kebersihan setempat. Ini saya minta kerjasama daripada semua pihak PBT, NGO dan pihak JKNJ untuk memastikan bahawa pada tahun hadapan kita dapat turun. Saya ingat 2019 dah tinggi, rupanya tahun 2020 makin bertambah. Ini yang kita harap kita dapat bersama-sama berusaha mengurangkan isu denggi ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya maklum dengan keadaan fasiliti kesihatan di hospital-hospital seluruh negeri Johor dan kita maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan peruntukan pembangunan di bawah butiran Projek Naik Taraf Ubahsuai
dan Pembaikan BP.00600 bagi tahun 2020 yang merangkumi 58 projek berjumlah RM8,375,511.10. Pecahan projek adalah seperti berikut :
1. Bahagian Perubatan sebanyak, 30 projek, RM3,055,441.60 2. Bahagian Kesihatan Awam, 16 Projek, RM4,680,141.00 3. Bahagian pergigian, 7 projek sebanyak RM425,928.50. 4. Bahagian farmasi, 4 projek sebanyak RM114,000.00 dan 5. Bahagian keselamatan dan kualiti makanan sebanyak 1 projek berjumlah
RM100,000.00.
Oleh itu, Semerah ingin tahu berapakah projek yang telah disiapkan dan namakan projek-projek berikut. Selain daripada itu, kita tahu bahawa Klinik Kesihatan Desa yang sekarang banyak berada di kampung-kampung hanya digunakan kadang-kadang purata 2,3 orang sehari. Jadi di sini, saya harap Semerah mencadangkan agar klinik-klinik kesihatan ini menjadi tempat pengambilan ubat-ubatan yang mengikut temu janji serta kita boleh juga minta bantuan doktor-doktor perubatan untuk mengadakan rawatan di klinik-klinik desa ini mengikut jadual. Ini adalah bagi mengatasi masalah kesesakan hospital dan juga poliklinik seluruh negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tahu Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar menekankan bahawa pertanian sebagai salah satu sumber utama yang untuk memastikan bahawa kita, untuk mendapatkan menjana hasil yang baik, yang berkualiti dan juga stabil, kita memerlukan sistem saliran dan juga pengairan yang baik. Kita maklum bahawa di Pantai Barat iaitu dahulu dikenali sebagai Projek Johor Barat iaitu pada tahun 1974 hingga tahun 2000, dengan mengendalikan tanah seluas 633,948 hektar untuk penanaman kelapa sawit, getah, nanas, kopi dan kelapa. Kawasan tersebut meliputi Batu Pahat, Pontian dan Muar. Untuk makluman panjang saliran parit di tiga daerah ini melebihi 4,900 kilometer iaitu 2,695 kilometer di Batu Pahat. 1,375 kilometer di Pontian dan 845 kilometer di Muar. Jadi, sebelum ini semua projek semasa zaman Johor Barat ianya ditampung oleh kerajaan Persekutuan tetapi selepas tahun 2000, ianya ditampung oleh kerajaan Negeri dengan bajet RM40 juta yang ada untuk penyelenggaraan parit. Saya tidak pasti bahawa ianya di dapat menyelenggara parit-parit di seluruh negeri Johor kerana di kawasan Johor Barat sahaja mempunyai 4,900 kilometer. Jadi saya harap pihak kerajaan Negeri dapat berusaha untuk mendapatkan peruntukan khas bagi pembersihan.
Azan, Yang Berhormat.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya sebutkan tadi tentang masalah perparitan kerana isu ini yang akan menyebabkan masalah banjir, banjir kilat dan juga banjir termenung di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi saya harap selepas ini pihak, apabila kita ada peruntukan yang lebih pihak JPS akan mudah untuk salurkan ke setiap daerah dan memastikan bahawa sistem perparitan ini dapat dibersihkan setiap tahun.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ingin bertanya juga mengenai status bangunan FAMA Batu Pahat di Parit Sidik, Jalan Muar, Batu Pahat kerana setakat ini saya tidak pasti sama ada ia berfungsi atau tidak, saya nak dapatkan penjelasan daripada pihak Yang Berhormat EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin maklumkan tentang Rumah Mampu Biayalah. Tentang Rumah Mampu Biaya Johor dan juga rumah, Skim Perumahan Ihsan Makmur. Di sini saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat EXCO tentang Skim Perumahan Ihsan Makmur yang mana kerajaan negeri ada tanah seluas 9 ekar di bawah Jabatan
Veterinar yang sekarang ini masih kosong dan saya yang terletak di Jalan Jeragan dan saya mencadangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk membina Skim Perumahan Ihsan Makmur di situ kerana untuk makluman semua, di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Batu Pahat, terdapat seramai 320 keluarga miskin bandar dalam Majlis Perbandaran Batu Pahat. Dan selain daripada itu kita berharap dengan kita dapat binanya rumah di bawah Skim Perumahan Ihsan Makmur ini, kita akan dapat menyediakan penempatan kepada setinggan bandar yang terdapat ramai di Batu Pahat. Selain daripada itu juga, untuk Skim Perumahan Mampu Biaya Johor, pihak kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk membina Rumah Mampu Biaya Johor di tanah kerajaan Persekutuan seluas 30 ekar yang terletak di Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat di depan Taman Banang Jaya kerana sebelum ini ia merupakan tapak untuk bahagian Kejuruteraan JPS Negeri Johor. Jadi dah lama itu, bersemak. Jadi saya harap pihak Kerajaan Negeri dapat melakukan sesuatu bagi membina rumah-rumah di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker,selain daripada itu juga, saya ingin mencadangkan bahawa satu laluan exit lebuh raya yang baru di antara Yong Peng Utara dan juga Pagoh iaitu kerana itu adalah lebuh raya yang paling panjang. Laluan paling panjang, lebih kurang 40 kilometer dan ianya memberi manfaat kepada penduduk-penduduk di DUN Seri Medan dan juga DUN Semerah iaitu dalam kawasan Parlimen Parit Sulong kerana kawasan tersebut mempunyai kawasan industri iaitu kawasan industri Seri Sulong. Saya rasa kalau, bila kita meningkatkan atau pun kita membuat exit baru situ maka pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di kawasan sekitar Parit Sulong.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu, isu jalan persekutuan perlu diberi perhatian terutama jalan-jalan yang berada dalam kawasan bandar sebagai contoh di Batu Pahat di Jalan Bakar Condong kerana kita lihat jalan taman cantik, cantik negeri cantik tetapi jalan persekutuan menghadapi masalah dari segi penurapan. Jadi saya harap perkara ini perlu dipandang serius bagi memastikan keseimbangan tentang penyelenggaraan jalan di seluruh negeri Johor. Selain daripada itu, saya mencadangkan agar program sifar lubang atau zero hole untuk jalan-jalan kampung di bawah IDJ dan juga pejabat daerah bagi memastikan penjimatan yang mana penjimatan ini boleh disalurkan kepada jalan-jalan serta lorong-lorong di luar bandar yang masih belum di premix lagi. Sebab kadang-kadang bila lubang kecil kita biarkan sampai dah besar kita buat kita ambil lebih jarak dalam 50 meter. Jadi kerugian yang mana kita boleh bawa untuk kepada projek-projek yang lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli Dewan, kita tahu tentang masalah pelabuhan di Batu Pahat kerana sekarang ini Pelabuhan Barter Trade di Batu Pahat di Jalan Syahbandar menyebabkan kesesakan bandar. Dan sebelum ini kita maklum bahawa pelabuhan kedua akan dibina di kawasan DUN Semerah. Jadi kita nak tahu status terkini pelabuhan tersebut dan juga saya mencadangkan kepada pihak PAJ untuk mengenal pasti sebab sebelum ini kita ada berbincang mengenai pembinaan pelabuhan di jalan kawasan Minyak Beku yang mana kita pun dah melihat tapaknya kerana kita lihat bahawa kalau kita mempunyai pelabuhan yang khusus maka kita dapatkan menambah pendapatan bagi negeri Johor kerana masalah kemasukan kelapa. Kita pun tak kira berapa biji masuk kelapa daripada Indonesia dan sebagainya. Inilah juga punca pendapatan sampingan kepada kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan Geran Lokal 3.0, kita mendapat maklum balas daripada beberapa isu daripada masyarakat tempatan yang mengatakan bahawa syarat yang agak membebankan terutama di dalam usahawan mikro, penjaja kecil, kriteria pemilihan penerima-penerima geran spesifikasi bantuan yang tidak memenuhi keperluan golongan peniaga usahawan mikro dalam membantu mereka mencapai sasaran jualan. Saya ambil contoh benda ini adalah kerana di kawasan saya ada seorang pengusaha kek kukus, dia mohon mesin untuk 30 adunan tetapi mesin yang dapat 25 adunan jadi dia tak dapat. Kalau dia buat pakai mesin yang baru dia terima itu, masa dia akan rugi untuk 5
adunan. Jadi kita harap selepas ini kesepadanan antara permohonan pemilik, pemohon dan juga pemberi akan sama dan tidak menyusahkan kepada penerima.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu, saya ingin mencadangkan tiga pelancongan yang saya rasa kita Johor, ini mempunyai keistimewaan iaitu pelancongan makanan, pelancongan warisan budaya dan juga pelancongan sukan. Dan tadi, saya rasa Yang Berhormat EXCO ada maklumkan tentang penggunaan fasiliti-fasiliti sukan yang ada kerana fasilitii BMX yang ada di Johor ini antara yang tercanggih di seluruh negara. Berkenaan dengan makanan ini kita tahu, Johor mempunyai keistimewaan makanan di setiap daerah dan saya juga mencadangkan kepada pihak Tourism Johor untuk melihat kawasan makanan asam pedas di Johor, di Batu Pahat iaitu di Teluk Wawasan kerana ramai orang luar datang tetapi jalan masih tanah merah lagi. Jadi, kita mintalah Yang Berhormat EXCO untuk lihat sendiri bagaimana untuk kita naikkan taraf kawasan-kawasan pelancongan ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan peruntukan sebanyak RM9 juta untuk penyelenggaraan Sekolah Agama Johor dan saya telah berbincang dengan Yang Berhormat EXCO untuk kita percepatkan agar sekolah itu akan lebih cantik. Kita berumur 100 tahun lebih tetapi inilah baru kita nampak yang kita perlu bantu sekolah-sekolah agama. Selain itu, ada peruntukan RM1.5 juta, naik taraf Sekolah Agama Kebangsaan Johor yang sebelum ini dikenali sebagai sekolah SRAB. Saya harap ia dipercepatkan kerana sekolah SRAB ini memang ketinggalan. Dia sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan ada bilik sumber manusia dan sebagainya tetapi di sekolah SRAB tiada. Jadi saya harap Jabatan Agama dapat mengambil perhatian bukan secara peringkat tapi kalau boleh RM1.5 juta ini kita dapat siapkan di 10 buah sekolah SRAB di seluruh negeri Johor. Selain daripada itu ada 74 juta penyelenggaraan masjid dan juga tanah perkuburan. Dan saya harap pihak kerajaan negeri dapat memastikan bahawa seluruh kawasan tanah perkuburan kita ini dapat di pagar kerana saya ada masukkan satu permohonan kepada Pejabat Daerah, Pejabat Agama Daerah untuk memagar kawasan tanah kubur di kawasan Parit Besar Bagan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu, saya ingin bertanya mengenai status terkini rumah asnaf kerana sebelum ini kita dapat maklum bahawa 37 buah rumah asnaf bernilai RM2,794,000.00 telah pun diserahkan oleh MAIJ kepada Pejabat Daerah untuk dibina pada tahun 2020 iaitu 10 buah rumah di Batu Pahat, 6 buah rumah di Muar, 17 buah rumah di Mersing dan 4 buah rumah di Tangkak. Jadi saya ingin dapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan Negeri status terkini proses perumahan ini. Itu sahaja daripada saya. Saya cuma berharap semua peruntukan perbelanjaan yang disediakan oleh kerajaan Negeri untuk tahun 2021 ini akan dapat sampai terus kepada penerima yang benar-benar boleh memajukan negeri Johor ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada Semerah. Cara semangat dia bercakap itu macam EXCO. Sepanjang beberapa hari ini, saya mempengerusikan mesyuarat saya lihat macam dua-dua kerajaan. Tak ada pembangkang. Mungkin satu peningkatanlah dari segi perbahasan walaupun agak membosankan tapi ada peningkatan dari segi fakta-fakta yang dipersembahkan. Tahniah. Jadi kita berehat seketika dan akan disambung jam 2.30 petang. Sekian.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Bukit Naning.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa.) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW kepada keluarga dan sahabat baginda. Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberikan kesempatan untuk Bukit Naning untuk turut serta dalam Perbahasan Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar pada 26 November 2020 yang lepas.
Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan tahniah, setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus berada dalam keadaan sihat sejahtera, dilanjutkan usia untuk terus memerintah di atas takhta kerajaan bagi menaungi rakyat dengan adil lagi saksama.
Bukit Naning juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana buat pertama kalinya telah membentangkan belanjawan di bawah kerajaan Perikatan Nasional Negeri Johor. Pelbagai bantuan yang telah dibentangkan bagi semua rakyat Johor dan ianya merupakan satu pembentangan belanjawan kebajikan kepada rakyat Johor. Antara perkara pembentangan kali ini yang Bukit Naning ingin ketengahkan adalah pertanian serta masyarakat luar bandar dan beberapa perkara yang berkaitan dengan isu kawasan Bukit Naning. Ini amatlah penting selepas negara termasuk negeri ini dilanda pandemik COVID-19.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam perbahasan yang terpaksa dilalui dengan norma-norma baharu, kali ini ianya haruslah berlandaskan kepentingan kebajikan rakyat, meningkatkan keupayaan ekonomi negeri ini dalam berhadapan dengan pandemik yang berbahaya ini. Apa jua rintangan dan halangan yang mendatang, ianya perlu diurus dengan baik mengikut sektor-sektor yang terjejas terus akibat wabak COVID-19 ini. Ianya boleh dianggap bala atau ujian bagi kita yang beragama Islam. Suka ingin saya ungkapkan daripada sabda Nabi Muhammad SAW ketika berbicara tentang taun menyebut, bermaksud, ‘jika kamu mendengar taun di suatu tempat, janganlah kamu pergi kepadanya, jika berlaku di suatu tempat, sedangkan kamu berada di situ janganlah kamu keluar daripadanya’, Riwayat Al Bukhari dan Muslim. Larangan ini telah terwujud sejak 1400 tahun yang lampau apabila menangani sesuatu wabak yang berjangkit. Ianya termasuklah bagaimana cara-cara untuk mengatasi wabak ini supaya tidak berjangkit. Ini menunjukkan perlunya kawalan pergerakan dalam suatu negeri jika berlakunya wabak berjangkit dan ianya tentu menjejaskan pelbagai aktiviti harian rakyat termasuklah aktiviti ekonomi dan kegiatan sosial.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam keadaan situasi sukar hari ini sesuatu yang kita semua tidak jangkakan dalam kehidupan kita dalam kehidupan rakyat yang menjadi sukar, panik memikirkan mengenang kehidupan mereka pada masa akan datang, ada rakyat yang hilang pekerjaan, ada juga rakyat yang masih bekerja tetapi terkurang pendapatannya akibat potongan elaun dan gaji dari majikan.
Yang Berhormat Puan Speaker, kadang-kadang pemandu lori mendapat elaun tambahan daripada trip yang mereka dapat. Tapi apabila berlakunya pandemik, mereka tak dapat kejar trip, maka kebiasaannya mendapat pendapatan RM4,000.00 sebulan bolehlah dia membayar sewa rumah, pampers anak dan juga susu anak yang masih kecil. Namun apabila berlakunya pandemik COVID-19 ini, mereka kehilangan trip dan akhirnya mereka kekurangan pendapatan dan juga terpaksa meminjam rakan ataupun meminjam sedara dan mara.
Yang Berhormat Puan Speaker, ada juga masalah-masalah mereka yang berniaga tepi jalan, kalau Yang Berhormat Puan Speaker masih ingat lagi tentang cerita Makcik Kiah sebelum ini yang terkenal dengan pendapatan lumayan daripada jualan tepi jalan goreng pisangnya dan juga pendapatan daripada bantuan kerajaan terpaksa gulung tikar juga apabila jumlah kumulatif jangkitan positif COVID-19 semakin meningkat. Oleh itu, di zaman ke arah dunia digital ini pastinya perlu satu belanjawan yang mampan dalam menguruskan dan membendung keadaan ekonomi rakyat di negeri ini. Pastinya belanjawan yang telah dibentangkan telah menjurus kepada kebajikan rakyat di bawah tanpa mengira bangsa dan agama.
Pelbagai one-off yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2021 bagi bangsa Johor antaranya RM300.00 kepada keluarga yang tersenarai dalam senarai e-Kasih selama dua bulan. Kelangsungan hidup sebuah sekeluarga tidak boleh bergantung semata-mata dengan one-off, tetapi boleh menampung untuk bersifat sementara. Perlu juga dicari alternatif lain untuk mengeluarkan sebuah keluarga itu dari garis kemiskinan. Senarai e-Kasih kebiasaannya dikemas kini setiap kali pemutihan dilakukan dalam Focus Group Basmi Kemiskinan mengikut daerah masing-masing. Kenapa tidak diberikan kepada setiap keluarga yang terjejas akibat pandemik ini tanpa garis panduan pendapatan per tahunan. Mereka yang tidak dapat senarai e-Kasih juga terjejas akibat pandemik ini atau kaedah baru perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan selain menggunakan Sistem e-Kasih.
Dalam pelaksanaan program COMBI, Cari Orang Memerlukan Bantuan, ini melalui agensi-agensi kerajaan ataupun melalui NGO-NGO yang telah dikenal pasti, semoga tiada ketirisan dalam pencarian ini yang boleh mengakibatkan salah laku dana awam rakyat. Jangan pula persatuan atau pertubuhan atau NGO ini disalahgunakan untuk menyalurkan kepada kepartian dalam musim pandemik ini seperti mana yang berlaku dalam belanjawan negara baru-baru ini yang telah memperuntukkan peruntukan kepada NGO yang bukan kerajaan dengan jumlah jutaan ringgit dengan penuh keraguan.
Yang Berhormat Puan Speaker, pemberian Kad Sihat seperti yang Semerah nyatakan dalam ucapannya tadi, pemberian Kad Sihat yang merupakan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan yang terdahulu juga tiada dalam belanjawan kali ini. Ini perlu kerana pandemik wabak COVID-19 ini juga merupakan masalah kesihatan. Paling tidak pun mereka memiliki kad sihat ini dapat menerima pengurangan caj setiap kali datang di panel-panel klinik yang dilantik. Selain mengekalkan SOP dalam kehidupan harian, kita menguruskan kehidupan, kesihatan pun menjadi elemen penting kepada masyarakat umum. Kerana itu perlu disambung pemberian kad sihat ini bagi meringankan beban mereka yang memerlukan. Diharap tema ‘Johor Berkebajikan’ ini tidak indah dari nama sahaja dan perlu pelaksanaan ke dasar masyarakat tanpa berlakunya ketirisan dalam menyalurkan one-off kepada setiap kategori.
Bukit Naning juga menyambut baik usaha kerajaan untuk meneruskan Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 milimeter padu kepada golong B40 Johor, namun YB Puan Speaker skim ini perlu diperluaskan. Sudah sampai masanya ke golongan M40 kerana golongan ini juga terkesan dalam menghadapi COVID-19. Belanjawan kali ini hampir menyeluruh kepada semua lapisan dan golongan di negeri ini tetapi pelaksanaan yang dinanti-nantikan ini perlulah menjurus kepada dasar tanpa mengira bangsa dan agama kerana pandemik ini memberi kesan yang panjang kepada semua.
Yang Berhormat Puan Speaker, dalam keadaan krisis yang dihadapi oleh seluruh dunia berdepan dengan pandemik COVID-19, bekalan makanan merupakan faktor utama bagi kelangsungan hidup penduduk di sebuah negeri. Bekalan makanan pula merujuk kepada sumber pertanian yang dijalankan oleh sebuah negeri sama ada pengeluaran domestik,
import dan juga eksport yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk. Pengurusan pertanian lestari utama untuk membekalkan sumber makanan asasi menjadi agenda utama semua pihak pada masa ini. Ini adalah satu revolusi pertanian ke arah makanan yang berkualiti dan mencukupi bagi menjamin keselamatan makanan dunia. Sehingga kini, usaha global dalam mencapai pertanian lestari melalui produktiviti optimum tanaman dan tanah menggunakan input minimum yang membawa kepada peningkatan ketara dalam kehidupan sosioekonomi dalam kalangan petani dan negara masih menjadi cabaran yang memberangsangkan.
Kita telah mendengar pembentangan Belanjawan 2021 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar yang menekankan sektor pertanian dalam aspek pemulihan dan ketahanan ekonomi negeri yang telah dibahagikan kepada tiga elemen. Antara salah satunya adalah agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor, Johor Food Security Agenda.
Kita juga telah mendengar dan menghayati sektor pertanian adalah penyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) selepas sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan. Ianya telah menyumbang kepada RM16.25 bilion pada tahun 2019, satu jumlah yang besar Yang Berhormat Puan Speaker. Asas yang kukuh ini merupakan satu petanda aras yang baik ke arah bank makanan dan menjurus kepada sektor makanan made in Johor. Ia bukan semata-mata disinonimkan dengan tempe dikaitkan dengan Johor. Tetapi kita perlu ubah kepada sektor pertanian yang boleh membawa kepada bekalan makanan ke seluruh negara. Pelbagai inisiatif kerajaan negeri dan telah diberikan kepada pemain-pemain industri pertanian termasuk daripada kerajaan persekutuan dengan suntikan dana tambahan melalui Penjana. Penjana yang disalurkan ini disambut baik oleh Bukit Naning bagi merancakkan pemain-pemain industri pertanian khususnya di kawasan Bukit Naning.
Contohnya, inisiatif kepada sektor pertanian melalui Jabatan Pertanian adalah barangan peralatan pertanian kepada pengusaha-pengusaha tani, selain itu modal pusingan merupakan kekangan kepada pengusaha tani dalam melaksanakan sesuatu projek. Ada kalanya bantuan kerajaan ini tidak sampai ke dasar dan akar umbi iaitu masyarakat kerana pelaksanaannya akan terlampau merumitkan dan menyukarkan pengusaha-pengusaha ini dapat bantuan kerajaan. Dalam usaha membangunkan tanaman nanas, sebanyak RM19 juta oleh kerajaan yang telah diperuntukkan itu sudah pasti satu dana yang besar dan dinanti-nantikan oleh pengusaha nanas di kawasan Bukit Naning. Ini kerana kawasan Bukit Naning merupakan rata-ratanya adalah pengusaha nanas. Pastinya Pengerusi Lembaga Industri Nanas Malaysia yang juga mantan Menteri Besar Johor dapat membantu kawasan nanas dalam DUN Bukit Naning. Nanas boleh dipelbagaikan jenis produk yang lain selain dijadikan sebagai makanan dalam masakan. Nanas juga boleh dibuat kerepek serta bahagian daripada nanas juga boleh dijadikan produk kertas. Antara variety nanas yang disyorkan untuk tanaman nanas di Malaysia ialah nanas Sarawak, nanas gandul, nanas Mauritius ataupun nanas Moris, nanas jenis N36 dan nanas jenis Josephine. Hanya variety Josephine dan N36 sahaja berjaya menembusi pasaran eksport Malaysia, kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Selain daripada mempunyai permintaan yang baik di pasaran, tanaman nanas juga tergolong dalam kumpulan tanaman yang boleh tahan kepada keadaan kemarau.
Yang Berhormat Puan Speaker, bank makanan perlu dibangunkan dengan padanan data-data pengusaha tani dalam negeri Johor bagi dapat memasarkan produk serta memberikan khidmat nasihat dalam, pada masa yang sama memberi modal pusingan kepada usahawan tadi. Bank makanan yang terdiri daripada makanan asasi masyarakat negeri ini perlu sentiasa mencukupi, menampung populasi penduduk yang semakin meningkat. Sekiranya kebolehsediaan makanan tidak berupaya dipenuhi, bagaimana pula kemampuan golongan B40 untuk mengakses makanan serta memastikan kestabilan makanan isi rumah. Perkara ini perlu diberi perhatian dan penekanan bagi memastikan keselamatan makanan isi rumah
terjamin. Ke arah negara digital, pertanian moden haruslah selaras dengan pemain-pemain industri yang sentiasa mengikut arus peredaran masa supaya sektor pertanian ini dijalankan secara berkesan. Geran-geran pertanian yang berkesan haruslah diberikan kepada pemain-pemain industri muda supaya mereka dapat bergerak selari dengan usahawan yang sedia ada. Kita perlu melahirkan petani-petani moden yang mahir dengan dunia Industri 4.0 yang menggunakan Internet, Internet Of Thing (IOT). Ini sejajar dengan Johor Digital dengan pelbagai teknologi termasuk nano technology. Bagaimanapun sektor pertanian sering dianggap lebih dimonopoli golongan yang berumur, berkemahiran rendah dan didominasi tenaga buruh asing. Penyertaan belia dalam sektor pertanian juga masih pada kadar yang rendah. Terdapat persepsi bahawa pertanian ini kerja 3D, kotor, berbahaya dan sukar. Tanggapan sektor pertanian yang memerlukan modal dan kos tinggi bagi urusan pemilikan tanah dan pembiayaan tenaga kerja serta berdepan risiko faktor cuaca yang tidak menentu. Antara faktor penyumbang kepada kurang penyertaan belia dalam sektor pertanian.
Namun penggunaan teknologi boleh digunakan dengan pemangkin untuk menarik minat belia menyertai bidang pertanian. Ramai yang masih kurang sedar persekitaran kerja sektor pertanian boleh berubah selaras Revolusi Industri 4.0. Dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti sektor ini. Penggunaan kemudahan teknologi moden seperti drone, sensor, robotik dan Internet kebendaan menjadi mekanisme penting bagi tujuan pengeluaran dan pengedaran produk pertanian yang terbukti dapat meningkatkan produktiviti. Ini secara tidak langsung menjadikan sektor pertanian sumber pendapatan yang lumayan. Membahagikan zon-zon penanaman dalam daerah-daerah negeri Johor ini dapat membuka ruang pekerjaan baru kepada masyarakat. Jadikan pertanian satu perniagaan dan ibadah kepada masyarakat, dengan menggalakkan mereka mengusahakan secara makro ataupun berskala besar. Moga dengan peruntukan sebanyak RM51.0 juta dalam sektor pertanian ini dapat direalisasikan supaya tiada kegagalan dalam menyampaikan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Naning mengharapkan supaya setiap apa yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2021 ini sampai ke dasar. Jika kita amati belanjawan yang sebelum ini juga baik namun masih ramai rakyat mengadu ianya tidak sampai kepada mereka. Contohnya soal peruntukan berjuta-juta telah diperuntukkan kepada pertanian. Namun bila rakyat memohon ia banyak syarat diberikan sehingga pemohon gagal untuk mendapatkannya. Seperti Geran Lokal sebelum ini sepatutnya diberikan kepada penerima RM20,000.00. barang kepada pemohon RM20,000.00 yang berupa barang. Namun pemohon dikenakan banyak syarat sehingga perlu berulang alik daripada Muar ke Johor Bahru untuk mendapatkan kelulusan. Yang menyedihkan kelulusan dapat, namun barang yang mereka dapat hanya 30% dari apa yang mereka pohon. Bukan itu sahaja, Puan Speaker, penghantaran barangan juga hampir setahun baru pemohon dapat. Biarpun keperluan barang itu sebenarnya terlalu mendesak.
Oleh yang demikian Yang Berhormat Puan Speaker, saya mengharapkan dalam situasi sekarang perlunya pemantauan kepada keberkesanan pelaksanaan setiap apa yang dibelanjakan. Kerana ini adalah duit rakyat. Yang perlu benar-benar dikembalikan kepada rakyat. Dalam siri belanjawan tahun 2019 ada menyebut tentang penanaman pokok gaharu, ianya menelan RM3.0 juta bagi mengusahakan penanaman tersebut di Ayer Hitam seluas 20 ekar.
Sila gulung.
Sikit lagi, Perlu diteruskan bagi membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Ianya baik bagi mencari peluang ekonomi yang baru selain dari pertanian berasaskan dan berteraskan komuniti. Ia sudah ada pekebun sawit mula menebang pokok sawit bagi menggantikan pokok buluh kerana hasilnya juga dapat menjadi sumber pendapatan. Ianya merupakan langkah awal yang telah tercetus semasa pemerintahan Pakatan Harapan dalam menggalakkan penanaman buluh sebagai alternatif sumber ekonomi alaf baru. Apa tidaknya, belanjawan ini dimasukkan juga penanam pokok vanila. Ianya dapat memberi pulangan yang baik kepada pengusaha dalam dunia yang menjurus kepada digital, segala teknologi pertanian 4.0 yang meliputi Internet Of Thing, teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan data centre serta berapa mekanisme lain termasuk menggunakan drone untuk kawasan pertanian. Vanila adalah tanaman penghasilan serbuk vanilin yang biasa digunakan dan dijadikan pengharum makanan. Serbuk ini dihasilkan dari buahnya yang berbentuk polong. Produk vanila kering mempunyai permintaan yang tinggi dari US dan Perancis serta banyak lagi negara-negara Eropah yang lain. Harga vanila kering gred A boleh mencecah RM1,800.00 hingga RM3,000.00 bergantung pada pasaran. Permintaan US terhadap vanila adalah sekitar 2 hingga 4 juta tan setahun dan Perancis sekitar 1 hingga 2 juta tan setahun. Pasaran dunia kini hanya 3% hingga 5% sahaja untuk produk vanila original. Yang mampu dibekalkan oleh seluruh pengeluar vanila dunia dan 95% hingga 97% permintaan yang tak mampu ditampung oleh pembekal dunia. Vanila dapat permintaan yang tinggi kerana ianya banyak digunakan dalam produk kecantikan dan itu pun tak mampu dibekalkan oleh pembekal dunia. Walau bagaimanapun, secanggih mana teknologi yang bakal digunakan, bagi menyahut cabaran...
YB Bukit Naning, panjang lagi?
Ada sikit lagi. 4.0 ini permasalahan pertanian yang berlaku adalah berkaitan dengan bencana sebagai contoh, mengalami air banjir yang tidak mengalir dengan baik ianya bergantung kepada sistem pengairan dan saliran yang baik dengan peruntukan yang secukupnya.
Yang Berhormat Puan Speaker, kawasan Bukit Naning bersifat kawasan luar bandar dan kampung tradisi. Dengan kegiatan ekonomi berasaskan pertanian. Bukit Naning mengharapkan supaya diberi perhatian kepada perparitan agar tidak berlaku banjir di kawasan rendah yang boleh mengakibatkan kerugian kepada pekebun-pekebun kecil. Bukit Naning menyambut baik pertambahan peruntukan untuk menyelenggara sistem perparitan dan saliran sebanyak RM40.0 juta supaya masalah banjir kilat waktu tengkujuh dan ditambah air pasang besar dalam satu masa. Selain itu Yang Berhormat Puan Speaker, kemudahan air bersih juga sangat penting kepada masyarakat. Saya ingin membangkitkan masalah masih ada kawasan di Bukit Naning yang sukar untuk mendapatkan sumber air bersih. Adakah sejumlah RM7.0 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan 2021 melalui projek Bekalan Air Luar Bandar, (BALB) dapat menyelesaikan masalah ini?
Yang Berhormat Puan Speaker, saya menghormati masa yang ada walaupun masih banyak lagi yang perlu saya baca,
Tidak diizinkan.
Tidak mengapalah Yang Berhormat Puan Speaker, jadi saya mengharapkan supaya peruntukan atau pembentangan yang telah,
Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar nyatakan dalam perbelanjaan, Belanjawan 2021 Johor itu dapat direalisasikan dan semoga rakyat Johor dapat menerima setiap apa yang dibelanjakan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat, Bentayan jemput.
Selamat petang, salam sejahtera dan salam harapan. Yang Berhormat Puan Speaker, jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi peluang kepada Bentayan untuk mengambil bahagian bagi menyertai perbahasan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis yang lepas di dalam Dewan yang mulia ini. Bentayan ingin merafak sembah dan dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu.
Yang Berhormat Puan Speaker, antara cabaran pada tahun ini sebenarnya adalah untuk mencapai hasrat Wawasan 2020 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya bukan sahaja dalam bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang seperti politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan dan sosial antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian maruah bangsa serta juga keyakinan. Akan tetapi malangnya pada tahun ini kita dikejutkan dengan berita penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Keadaan ini menyebabkan ekonomi negara mengalami kemerosotan yang paling teruk pernah direkodkan dalam sejarah negara Malaysia. Mengikut statistik PERKESO, lebih dari 90,000 kes kehilangan pekerjaan telah direkodkan setakat pertengahan Oktober ini. Peningkatan sebanyak 278% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2019. Angka tersebut dijangka akan terus meningkat kepada 100,000 kes menjelang akhir tahun ini. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pada tahun ini angka bankruptcy di Malaysia dijangka akan meningkat sebanyak 4% hingga 5% dan berdasar data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SSM, Mac hingga September sahaja sebanyak 32,569 orang usahawan kecil dan sederhana telah tamat perniagaan.
Yang Berhormat Puan Speaker, berdasarkan keadaan yang dihadapi sekarang, harapan rakyat terhadap kerajaan adalah :
1. Dasar dan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan yang terkesan atau kehilangan punca pendapatan. 2. Dasar dan inisiatif kerajaan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan. 3. Supaya terhindar daripada wabak COVID-19. 4. Aktiviti sosial atau kehidupan dapat dikembalikan kepada normal secepat mungkin.
Sehubungan dengan ini, Belanjawan 2021 Negeri Johor adalah amat penting kerana dia sepatutnya menjadi hala tuju dalam usaha pemulihan ekonomi negeri Johor daripada kemerosotan ekonomi di samping membantu golongan yang terjejas akibat wabak pandemik ini. Usaha-usaha pemulihan ekonomi negeri Johor ini seharusnya terbahagi kepada tiga peringkat utama iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Peringkat jangka masa pendek iaitu sentiasa memastikan wabak COVID-19 di negeri Johor berada di dalam keadaan yang terkawal. Membela nasib pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana dan menyelamatkan pekerja orang ramai. Peringkat jangka masa sederhana adalah persediaan kerajaan untuk pembukaan semula pintu masuk sempadan Malaysia dan Singapura. Di
samping memastikan petugas barisan hadapan sentiasa bersedia, SOP yang jelas serta berkesan dan menyediakan fasiliti yang lengkap dan mencukupi untuk tujuan saringan apabila seramai 300,000 orang dijangkakan akan keluar dan masuk ke Singapura setiap hari. Industri pelancongan juga harus dibantu supaya industri ini dapat diselamatkan dan bersedia menerima kehadiran pelancong terutama dari Singapura selepas sempadan negara dibuka semula. Peringkat jangka masa panjang untuk mengukuhkan semula struktur ekonomi negeri Johor dengan restructure, dengan izin ekonomi negeri. Sumber ekonomi negara, negeri tidak boleh lagi hanya bergantung kepada industri pembuatan dan perkhidmatan. Akan tetapi industri pertanian juga wajar diberikan perhatian yang lebih pada masa akan datang.
Yang Berhormat Puan Speaker, Belanjawan 2021 Negeri Johor telah memilih sektor pertanian sebagai antara sektor industri pemacu utama ekonomi negeri Johor adalah tepat pada masanya. Pada tahun 2050 akan datang, dijangka populasi manusia di seluruh dunia akan meningkat sebanyak 9.8 bilion dan permintaan terhadap keperluan makanan pada waktu itu dijangka akan meningkat sehingga 70%. Lebih membimbangkan lagi apabila dikhabarkan bahawa kaedah pertanian yang sedia ada kini tidak mampu untuk menampung dan memenuhi peningkatan ini. Manakala, pada peringkat tempatan pula, kita masih terpaksa mengimport bekalan beras sebanyak 30% bagi memenuhi permintaan domestik. Berdasarkan ringkasan daripada data tanah terbiar untuk tahun 2019 yang dijelaskan menerusi jawapan soalan bertulis semasa Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 yang lalu, Johor mempunyai tanah pertanian yang terbiar seluas 10,097.78 hektar termasuk tanah darat dan tanah sawah. Maka sektor pertanian dilihat sebagai salah satu industri yang sangat berpotensi dan harus diberi fokus di negeri Johor.
Saya ingin memetik cadangan daripada Profesor Madya Dr. Hairul Nizam Md. Din, Timbalan Dekan Penyelidikan Pembangunan dan Penerbitan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM yang mengatakan bahawa kaedah pertanian tepat wajar diperkenalkan. Kaedah pertanian tepat ini menggabungkan penggunaan teknologi untuk memberi ukuran yang tepat dalam setiap proses pertanian agar setiap sumber dapat digunakan dengan seoptima mungkin. Hal ini menunjukkan bahawa sumber-sumber yang digunakan adalah dalam kadar boleh ubah dan bukan berkadaran tetap. Antara peralatan yang terlibat termasuklah GPS, sensor, drone, kecerdasan buatan, AI dan robotik. Secara umumnya kaedah ini ialah mengumpul semua data untuk menjurnal satu big data, dengan izin yang diperlukan untuk menganalisis dan menyelesaikan permasalahan. Kaedah ini juga dapat membantu masalah global yang dihadapi oleh para petani seperti kekurangan sumber air dan tanah. Perubahan cuaca yang tidak menentu. Kekurangan tenaga kerja dan kos tenaga kerja yang semakin meningkat. Bentayan berpendapat bahawa persepsi semasa orang ramai terhadap industri pertanian yang sering dianggap kotor memerlukan banyak tenaga dan berpendapatan rendah ini dapat diubah sekiranya kita berjaya mengaplikasikan kaedah ini. Hal ini kerana bukan sahaja kerja-kerja manual dapat dijalan dengan lebih cepat, penggunaan tanah dan bahan seperti baja serta kos operasi buruh juga dapat dikurangkan. Apabila semua sektor ini digabungkan, ia akan memberikan kadar pengeluaran hasil yang lebih optimum jika dibandingkan dengan kaedah konvensional sedia ada. Secara tidak langsung ini juga merupakan jalan keluar kepada masalah yang dihadapi sekarang iaitu masalah pengangguran dalam kalangan pemuda. Kaedah pertanian tepat ini memerlukan kos permulaan yang besar dan kita juga masih kekurangan tenaga pakar dalam bidang ini. Jadi kerajaan seharusnya mengutamakan pembangunan kepakaran dan memberi bantuan dari segi kos. Di samping itu, kerajaan harus menggalakkan rakyat terutamanya golongan muda yang melibatkan diri dalam industri pertanian dengan memberi insentif atau bantuan yang sewajarnya.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan ingin mencadangkan beberapa penambah baik terhadap Belanjawan Negeri Johor 2021. Peruntukan bagi program re-skilling dan up-skilling seharusnya ditambah disebabkan angka pengangguran yang meningkat pada tahun ini.
Cadangan saya untuk program ini adalah agak fokus tambahan dapat diberikan kepada golongan penganggur yang berusia 40 tahun dan ke atas. Faktor usia dan kemahiran adalah penyebab utama golongan ini sukar untuk bangkit semula setelah diberhentikan kerja. Jadi golongan ini juga harus diberi perhatian untuk supaya mereka memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Program Jualan Makmur Johor juga merupakan satu program yang baik dan usaha meringankan beban sara hidup rakyat Johor. Untuk penambahbaikan saya ingin mencadangkan supaya program ini dapat diperluaskan lagi melalui kaedah pemberian baucar tunai kepada golongan B40 dan golongan yang kurang mahir dalam online shopping, dengan izin. Selain itu, adalah baik sekiranya baucar tunai ini dapat digunakan di kedai runcit atau mini market di kawasan kediaman dan secara tidak langsung dapat membantu golongan peniaga-peniaga kecil setempat.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bentayan ingin menyentuh satu isu tempatan iaitu masalah banjir kilat di daerah Muar. Dalam tempoh sebulan, bermula Jun 2020 hingga Julai 2020, daerah Muar telah mengalami banjir kilat sebanyak tiga kali. Dan antara yang paling teruk terjadi pada 20 Jun dan 13 Julai 2020. Semasa kejadian pada 20 Jun 2020, kadar bacaan hujan ialah 99ml per jam dengan paras kedalaman air mencecah 0.1 hingga 1.2 meter menyebabkan Jalan Muar – Yong Peng terpaksa ditutup ketika itu. Antara sebab dan faktor yang dikenal pasti ialah :
1. Hujan lebat yang berterusan. 2. Keadaan sistem saliran parit yang tidak mampu menampung laluan air daripada permukaan dan air hujan. 3. Paras tanah yang rendah. 4. Penembungan dengan air pasang besar.
Manakala kejadian pada 13 Julai 2020 adalah yang paling teruk dalam masa sebulan ini, yang mana 9 daripada 12 mukim di daerah Muar dilanda banjir kilat. Sehingga Hospital Muar juga tidak terkecuali sehingga kawasan koridor dan tempat letak kereta juga dinaiki air. Antara punca-punca yang dikenal pasti :
1. Hujan lebat di mana Stesen Tanjung Agas merekodkan bacaan 270ml, 144ml di Sungai Sendok dan 130ml di Ladang Air Manis.
2. Sistem saliran yang sedia ada tidak mampu menanggung jumlah air hujan dan menyebabkan limpahan air berlaku. Kebanyakan kawasan yang terlibat adalah dalam, berada pada paras rendah.
3. Aliran air yang terhalang disebabkan keadaan struktur seperti pembetung yang menyekat aliran air menjadikan sistem saliran di kawasan itu tidak dapat berperanan seperti yang sepatutnya.
Tindakan-tindakan segera yang diambil oleh pihak JPS adalah penggalian semula, penyelenggaraan dan naik taraf sistem-sistem perparitan dan pembetungan yang sedia ada di samping membina dan membesarkan pintu air dan pam. Punca-punca seperti hujan lebat dan air pasang adalah punca di luar kawalan dan kemampuan kita. Akan tetapi masalah sistem saliran sedia ada yang tidak mampu menampung air hujan dan aliran air terhalang disebabkan struktur sistem saliran atau tersumbat sebenarnya tidak harus berlaku. Ini menunjukkan sistem saliran yang sedia ada ini tidak mencukupi untuk menampung kapasiti saliran air di daerah Muar. Kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak di jalan dengan baik atau kurang penyelenggaraan menyebabkan aliran air terhalang. Sepatutnya sistem-sistem saliran harus sering di selenggara secara berkala atau berjadual iaitu empat kali dalam setahun akan tetapi saya difahamkan bahawa masalah kekurangan peruntukan telah menyebabkan kerja penyelenggaraan hanya dijalankan sekali sahaja dalam tempoh setahun. Harapan saya adalah supaya kerajaan memberikan peruntukan yang mencukupi
agar pihak JPS boleh menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sekurang-kurangnya dua kali dalam masa setahun.
Yang Berhormat Puan Speaker, antara tindakan jangka panjang adalah projek naik taraf sistem perparitan di Bandar Maharani yang akan dicadangkan dalam RMK-12. Sistem saliran dan perparitan yang sedia ada di daerah Muar telah pun berusia lebih 30 atau 40 tahun akan tetapi kemajuan pembangunan yang pesat menyebabkan saliran sedia ada tidak lagi dapat menampung kapasiti saliran air. Apa yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, menunjukkan bahawa semakin banyak kawasan yang dilaporkan mengalami banjir kilat walaupun hujan turun hanya kurang daripada satu jam. Maka sudah tiba masanya untuk sistem saliran dan perparitan di keseluruhan daerah Muar disemak dan dikaji semula supaya dapat memenuhi keperluan kadar pembangunan yang semakin pesat di masa yang akan datang.
Di samping itu, salah satu risiko bencana di daerah Muar ialah peningkatan paras air laut. Mengikut satu kajian didapati akan berlaku peningkatan paras sebanyak 0.09 meter menjelang tahun 2040 dan akan terus meningkat sehingga 0.3063 meter menjelang tahun 2100. Maka dalam projek naik taraf sistem perparitan di Bandar Maharani yang akan dicadangkan dalam RMK-12 akan datang, haruslah dimasukkan sekali pertimbangan masalah peningkatan paras air laut ini. Sekiranya tidak, masalah banjir kilat dijangka bertambah teruk pada masa yang akan datang.
YB Bentayan sila gulung.
Sedikit lagi. Yang Berhormat Puan Speaker, rakyat sekarang sememangnya hidup dalam kesukaran. Maka kerajaan harus melaksanakan segala dasar atau inisiatif dengan pantas supaya kesukaran hidup rakyat dapat diringankan untuk memasti segala dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan pantas dan berkesan, kerajaan harus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam hal-hal pentadbiran. Misalnya, segala garis panduan dan syarat bagi setiap inisiatif harus jelas dan tidak mengelirukan rakyat. Kaedah permohonan harus mesra pengguna dan kurangkan red tape, dengan izin. Selain itu inisiatif harus dijalankan dengan kadar segera supaya rakyat dapat menerima manfaat tersebut dalam masa yang singkat.
Akhir kata, beban kehidupan rakyat boleh diringankan bergantung kepada kecekapan pelaksanaan dan keberkesanan penyampaian inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan rakyat oleh kerajaan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Bukit Kepong jemput.
Bismillahirrahmanirrahim. (Berselawat.) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam makmur Johor. Marilah kita semua memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini bagi menjayakan sesi perbahasan Belanjawan Johor 2021.
Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dan ucapan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan pada 22 November 2020 yang lalu.
Patik juga ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah ke Bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor serta keseluruhan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim atas pencapaian cemerlang merangkul Piala Liga Super buat kali ke-7 pada tahun ini. Tahniah diucapkan.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, Bukit Kepong ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana telah diberikan ruang dan kesempatan untuk sama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan belanjawan yang bertemakan berdaya tahan demi kemakmuran.
Sebelum langkah lebih jauh, izinkan Bukit Kepong untuk menyentuh sedikit perihal Belanjawan 2021 oleh kerajaan persekutuan pimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir. Pada Khamis yang lalu, kita semua telah menyaksikan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Zafrul bin Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia telah berjaya diluluskan pada peringkat dasar di Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan daripada majoriti Ahli-Ahli Parlimen Malaysia. Bukit Kepong ingin mengambil kesempatan dalam ucapan perbahasan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di Parlimen kerana telah bersatu hati untuk memastikan belanjawan penting negara bagi tahun hadapan berjaya diluluskan. Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada kerajaan persekutuan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah berjaya membentangkan sebuah belanjawan yang cakna dan dekat dengan hati rakyat Malaysia dan Johor amnya. Malah, dengan izin Allah SWT, Bukit Kepong percaya Belanjawan 2021 juga akan diterima dengan baik dalam perbahasan peringkat Jawatankuasa dan seterusnya diluluskan sekali lagi demi negara serta rakyat yang kita cintai.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, bagi memulakan ucapan perbahasan ini, Bukit Kepong ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hasni bin Mohamad, Menteri Besar Johor dan keseluruhan kerajaan negeri atas Belanjawan Johor 2021 pada hari Khamis yang lalu. Sungguhpun belanjawan negeri yang dibentangkan ini adalah belanjawan defisit, Bukit Kepong ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pengumuman inisiatif-inisiatif yang saya kira amatlah menyelami suara hati rakyat Johor.
Bukit Kepong percaya bukan mudah untuk kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar merangka dan seterusnya membentangkan belanjawan yang inklusif di saat rakyat, negeri serta negara terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sebanyak 12 agenda digariskan dalam belanjawan negeri untuk dilaksanakan pada tahun hadapan dengan dipandu oleh tiga objektif utama:
1. Menjamin ketahanan dan kelangsungan ekonomi.
2. Memperkasa dan memperdaya tahan kebajikan rakyat Johor.
3. Menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Johor.
Oleh itu, sebagai salah seorang ADUN kerajaan, kita pun menzahirkan sepenuh kepercayaan kepada kerajaan negeri bahawa kesemua agenda dan inisiatif yang dinyatakan akan dapat direalisasikan sekali gus berjaya membantu rakyat untuk terus bertahan di saat-saat getir ini.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, kerajaan persekutuan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia komited untuk terus memperkasa industri pengeluaran nanas negara dengan usaha menarik lebih ramai usahawan agro terutamanya di kalangan orang muda. Selaku Pengerusi LPNM, suka untuk Bukit Kepong nyatakan juga bahawa usaha bagi menjadikan sektor penanaman nanas di negara ini termasuklah Johor Lebih Moden dan Dinamik akan sentiasa dipergiatkan dari masa ke semasa. Untuk itu, LPNM sentiasa
memandang ke hadapan, bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran nanas negara menerusi projek peluasan tanaman nanas di seluruh negeri Johor. Malah, Bukit Kepong amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha untuk melibatkan pelabur dari luar negara agar dapat terlibat dalam rantaian nilai industri nanas premium. LPNM bersedia untuk memberikan kerjasama bagi menjayakannya.
Selain itu, dengan peruntukan yang besar diterima daripada Belanjawan 2021, LPNM bersedia menjayakan pelaksanaan program dan projek yang telah dirancang untuk manfaat pekebun dan pengusaha nanas di seluruh negara. Menjadi harapan Bukit Kepong agar pekebun dan pengusaha nanas di negeri Johor tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan pusat kepada LPNM dalam Belanjawan 2021. LPNM sentiasa membuka pintunya kepada mana-mana pihak sama ada syarikat atau orang perseorangan yang mahu mendapatkan pendedahan maklumat mengenai kepelbagaian sumber ekonomi pertanian nanas selain mendapatkan khidmat nasihat termasuk dari segi bantuan kewangan.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, kesediaan kerajaan negeri untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pembangunan zon ekonomi di Pagoh melalui penglibatan aktif dalam Majlis Pembangunan Pagoh dan Gambir amatlah disanjung tinggi oleh Bukit Kepong. Rasa ini dizahirkan kerana kawasan DUN Bukit Kepong itu sendiri yang terletak di Parlimen Pagoh yang mana Ahli Parlimennya adalah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Besarlah harapan Bukit Kepong sinergi antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan dapat menjayakan pembangunan Zon Ekonomi Pagoh yang berkeluasan 4,000 ekar dan pembangunan Wilayah Johor, Wilayah Utara Johor khususnya. Untuk itu, Bukit Kepong mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya dapat memberikan tumpuan yang khusus terhadap aspek infrastruktur dan prasarana di Pagoh terutama melibatkan jalan-jalan negeri.
Dengan sedia wujudnya hab pendidikan Pagoh dan yang terbaharu bakal dibangunkan pula Zon Ekonomi Pagoh, Bukit Kepong berharap aspek infrastruktur dan prasarana di bawah tanggungjawab kerajaan negeri tidak keciciran. Ini termasuklah cadangan projek pembinaan dan menaik taraf jalan-jalan raya di Pagoh yang telah dirancang serta disediakan peruntukannya ketika Bukit Kepong diberi kesempatan menjadi Menteri Besar seperti Jalan Bypass Bukit Pasir, pelebaran Jalan Muar – Pagoh serta naik taraf beberapa jambatan di Jalan Muar – Labis.
Pada kesempatan ini, Bukit Kepong ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan untuk cadangan projek memperelok selekoh bahaya Jalan Muar – Labis dalam Belanjawan Johor 2021. Namun begitu, Bukit Kepong berharap agar isu-isu seperti berikut dapat diberikan perhatian juga untuk disegerakan pelaksanaannya:
1. Projek Perumahan Johor Land di Lenga. Isu tanah telah selesai sewaktu Bukit Kepong menjadi Menteri Besar.
2. Rumah Transit MAIJ di Bukit Kepong yang terdapat isu berbangkit sejak lama namun tidak dapat diselesaikan sehingga kini.
Adalah amat menyedihkan bagi kami kerana kerajaan sebelum kerajaan PH membuat sesuatu projek sebagai gula-gula pilihan raya dan membuat sesuatu projek tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan sehingga projek tidak dapat diteruskan dan isu-isu berbangkit terpaksa diselesaikan sewaktu menjadi Menteri Besar.
Ketiga, isu kerapan putus bekalan air dan elektrik terutamanya di musim perayaan khasnya, di Lenga membawa ke Bukit Kepong. Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, pandemik
COVID-19 telah memberikan implikasi yang cukup besar kepada dunia. Termasuklah Malaysia dan negeri Johor khususnya, sepertimana dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, negeri ini sangat terkesan dengan konflik krisis ini. Ekonomi negeri mengucup, pengangguran meningkat, pelaburan berkurangan, perniagaan terpaksa menghentikan operasi, kuasa beli rakyat kian merosot serta kutipan hasil negeri juga terjejas dengan teruk. Untuk itu Bukit Kepong menyahut seruan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada semua Ahli-Ahli Dewan agar bersolidariti demi Johor dan membuktikan kecintaan terhadap negeri Johor. Malah Bukit Kepong juga mengalu-alukan setiap inisiatif terutama di bawah agenda Johor Berkebajikan dalam Belanjawan Johor 2021 yang sudah pasti sedikit banyak meringankan beban rakyat Johor dalam mengharungi kehidupan terutama ketika krisis COVID-19.
Pada ketika ini rakyat yang terkesan amatlah mengharapkan tindakan dan langkah daripada pihak kerajaan agar mereka dapat terus berdaya tahan menjalani kehidupan intervensi seharian. Pemberian wang tunai secara one-off juga sudah tentu akan membolehkan golongan sasar menarik nafas lega. Bagaimanapun, ingin Bukit Kepong sampaikan hasrat dan suara hati golongan M40 yang merasakan seakan tersisih daripada menikmati manfaat daripada bantuan kerajaan. Timbul dakwaan Belanjawan 2021 dilihat tempang dan tidak seimbang kerana hanya menyentuh penerima terdiri daripada golongan sasar khususnya B40. Oleh itu Bukit Kepong berharap kerajaan negeri dapat melihat dengan lebih mendalam rintihan golongan ini, sekali gus melihat cara dan langkah terbaik untuk membantu kumpulan M40 di Johor yang turut terkesan dek kerana pemberhentian pekerjaan, pengurangan gaji dan pendapatan serta bebanan tanggungan komitmen bulanan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bukit Kepong ingin mengajak seluruh Ahli-Ahli Dewan yang mulia pada hari ini untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Belanjawan Johor 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. (Dewan bertepuk). Pasti akan ada usul cadangan penambahbaikan daripada rakan-rakan namun diharapkan kita dapat berbahas dalam suasana yang tenang dan matang. Marilah kita kurangkan berpolitik dan sebaliknya pula menjalankan amanah dengan memberi keutamaan kepada rakyat yang terhimpit dengan cabaran pada masa kini. Bukit Kepong percaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar sentiasa bersedia untuk mendengar idea, pandangan dan teguran daripada rakan-rakan di sebelah pembangkang meskipun berbeza ideologi politik. Ini dapat kita lihat apabila peruntukan Yang Berhormat ADUN pembangkang ditingkatkan daripada RM50,000.00 kepada RM150,000.00 selain cadangan untuk menaikkan elaun Ketua Pembangkang kepada RM3,000.00 kepada RM5,000.00. (Dewan bertepuk). Bukit Kepong berharap kerajaan negeri akan terus membongkar potensi dan membangunkan negeri Johor secara keseluruhan dengan adil, saksama tanpa mengira ideologi politik. Begitu juga sekiranya ada projek-projek pembangunan yang telah dirancang dan dipersetujui oleh pentadbiran kerajaan terdahulu yang baik pada rakyat dapat diteruskan dan dijayakan demi kepentingan bersama. Bukit Kepong percaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar merupakan seorang Wakil Rakyat yang berpengalaman dan berjiwa besar sekali gus mampu merancang dengan baik setiap pembangunan negeri.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, sebelum mengakhiri ucapan ini Bukit Kepong ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan atas penerusan projek RTS yang mana majlis pecah tanahnya telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Bukit Kepong turut menzahirkan ucapan tahniah buat seluruh warga Majlis Perbandaran Pasir Gudang atas pengisytiharan Majlis Bandaraya Pasir Gudang iaitu PBT ketiga di Johor berstatus Bandaraya selepas Majlis Bandaraya Johor
Bahru dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Dengan kebijaksanaan kepimpinan kerajaan negeri, pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan, Bukit Kepong yakin negeri Johor akan kembali melakarkan prestasi-prestasi yang membanggakan seperti yang pernah di kecapi sebelum ini. Negeri Johor pernah mencatatkan pencapaian keseluruhan yang sangat memberangsangkan dan kita mampu untuk mengulanginya. Dengan doa dan usaha daripada kita semua matlamat untuk menjadikan Johor sebagai kuasa baharu ekonomi Malaysia bukanlah satu cita-cita yang mustahil. Dan semua ini mampu direalisasikan dengan kematangan setiap Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini melaksanakan dan tanggungjawab moral tanah air serta rakyat di lapangan. Tidak lupa juga terima kasih kepada semua yang telah membantu ketika Bukit Kepong mentadbir negeri Johor sebelum ini, kerjasama erat antara penjawat awam dan YB EXCO telah memungkinkan semua urusan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lancar dan mudah. Marilah kita bersatu hati sebagai bangsa Johor dan berada dalam satu kesatuan demi makmur bersama Johor. (bacaan doa). Pada Allah berserah, muafakat itu berkat. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Kepong, Ahli-Ahli Yang Berhormat persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 4.00 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.39 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 4.00 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Yang Berhormat Tanjung Surat, jemput.
Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam makmur Johor. Yang Berhormat Puan Speaker, Tanjung Surat ingin mengucapkan terima kasih kepada Puan Speaker kerana memberi peluang pada Tanjung Surat untuk turut serta membahas Bajet 2021yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis 26 November 2020 yang lalu. Yang utama harus didahulukan, patik mewakili diri patik dan seluruh rakyat di kawasan DUN Tanjung Surat ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang ke-62 pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah yang baru berlalu. Tanjung surat juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipimpin oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah mengekalkan kejuaraan Liga Super musim ke-7 berturut-turut baru-baru ini. Semoga pasukan JDT terus menempa banyak lagi kejayaan di masa akan datang. Bajet yang bertemakan “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran” ini mengambil masa 2 jam untuk dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, satu masa yang agak panjang, seharusnya ia panjang, kerana ia mencakupi segenap aspek kehidupan rakyat negeri Johor apatah lagi ketika negeri kita, negara kita, malah seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. Seperti yang dinyatakan oleh Yang Amanat Berhormat Menteri Besar kita, kita sekarang berada unprecedented circumstances, dengan izin, di mana pandemik yang sangat berbahaya ini memberi kesan yang buruk ke atas ekonomi dunia termasuk ke atas negeri kita Johor kerana penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berterusan. 3 objektif utama Bajet 2021 ialah :
1. Menjamin ketahanan dan kelangsungan ekonomi.
2. Memperkasa dan memperdaya tahan kebajikan rakyat Johor.
3. Menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Johor.
Belanjawan ini memberi fokus kepada 12 agenda, Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Modal Insan Johor, Governance Johor, Majestic Johor, masyarakat Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani, Johor Prihatin dan Johor Berkebajikan. Kesemua 12 agenda ini merupakan strategi perlaksanaan Bajet 2021.
Bagi Agenda Johor Niaga, Tanjung Surat mengalu-alukan inisiatif untuk meringankan beban para peniaga dan penjaja kerana kerajaan negeri akan melaksanakan pengecualian bayaran lesen penjaja, lesen peniaga PKS, mikro, sewa premis, dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar pagi selama setahun mulai 1 Januari 2021. Ini akan sangat membantu dalam kepada penjaja, peniaga mengharungi kelembapan ekonomi terbitan dari COVID-19.
Tanjung Surat ingin masuk kepada agenda prasarana dengan menyentuh Lembaga Pengurusan Air Johor. Tanjung Surat berpendapat penubuhan Lembaga Pengurusan Air Johor ini amatlah sesuai dan tepat pada masanya. Ianya akan lebih autonomous, dan dari Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) yang ada sekarang. Terutamanya apa-apa hasil yang diterima dapat digunakan sepenuhnya untuk pengurusan pembangunan sumber air. Lembaga juga boleh berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mendapat sumber-sumber hasil baru sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Air Johor dan tidak hanya bergantung hasil dari pembelian air mentah syarikat pengurusan terawat iaitu Ranhill SAJ. Dapat juga Lembaga Pengurusan Air Johor ini nanti usaha mencari dan membangunkan sumber air mentah baru seperti air bawah tanah, ground water, dengan izin, air laut, tuaian air hujan, dalam bahasa Inggerisnya rain harvesting, malah sumber dari air kumbahan pun boleh difikirkan, Lembaga ini nanti juga bebas untuk mendapatkan tenaga kerja untuk melaksanakan tugasan-tugasan yang saya sebutkan tadi tanpa perlu mendapat kelulusan dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) seperti sekarang ini. Lembaga juga hendaklah mendapat khidmat dari profesional-profesional yang diperlukan dalam segenap bidang terutamanya jurutera-jurutera dalam bidang pengurusan dan pembangunan sumber air. Selain daripada itu Lembaga harus juga mendapat khidmat profesional dari bidang-bidang lain seperti perakaunan, ukur bahan, guaman dan lain-lain. Seperti syarikat-syarikat lain semua LPAJ atau Lembaga Pengurusan Air Johor kelak, tidak lupa kepada tanggungjawab sosial korporatnya untuk membantu mereka-mereka yang memerlukan. Semua ini dan banyak lagi boleh dilakukan oleh Lembaga Pengurusan Air Johor kerana ianya nanti mempunyai kebebasan kewangan yang hanya memerlukan kelulusan dari Lembaga Pengarahnya tidak seperti sekarang, BAKAJ tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan yang kadang kala merumitkan.
Saya juga ingin menyentuh agenda perumahan dalam segi pelaksanaan Bajet 2021. Kerajaan telah mendapat menyiapkan 21,479 unit rumah mampu biaya dari 2014 hingga 2019, dalam tempoh lima tahun. Banyak lagi sedang dalam pembinaan dan juga ada dalam perancangan oleh agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, GLC baik di peringkat negeri mahupun persekutuan dan juga pihak swasta. Tanjung Surat berharap program sewa beli dengan kerjasama Maybank yang dicadangkan dapat membantu kumpulan B40 dan M40 dan anak-anak muda memiliki rumah sendiri. Dulu pun ada kerjasama dengan Ambank tapi tak tahulah apa telah jadi. Kita ingin sektor perumahan ini betul-betul dapat membantu
mereka-mereka yang dalam B40, M40 dan anak-anak muda ini. Kita cuba ataupun memperkenalkan sistem atau program sewa beli. Saya nak tanya, apakah program sewa beli itu sebenarnya? Bagaimanakah mekanismenya dan berserta pelaksanaannya? Apakah syarat-syarat minima untuk layak ditawarkan program ini? Saya percaya ramai di dalam kumpulan sasaran yang saya sebutkan tadi tidak diberi kefahaman seluas-luasnya. Kita tidak mahu ada yang dalam kumpulan sasaran ini apabila ditawarkan unit rumah nanti didapati tidak layak untuk menyewa beli. Pinjaman terus dari bank memang sukar untuk mereka dapati memandangkan ramai di antara mereka khususnya dari B40 tidak mempunyai bukti pendapatan. Contohnya slip gaji dan dokumen sokongan lain.
Tanjung surat mengalukan cadangan kerajaan yang komited untuk memberi pengecualian sewa ke atas program rumah rakyat (PPR) dan rumah kerajaan skim bersasar sepanjang 2021. Dijangka 70% penyewa adalah layak untuk menikmati pengecualian ini. Kita mahu sektor perumahan seperti saya sebutkan tadi mencapai sasarannya. Kita hendak memberi orang yang bawah dalam lingkungan B40, M40 dan anak-anak muda dapat memiliki rumah sendiri dan dengan sistem sewa beli, insya-Allah boleh. Tapi kalau kita tidak memahamkan macam mana sistem sewa beli ini kepada kumpulan sasaran ini, mereka nanti tak faham. Kalau dia tahu awal, dia faham benda ini benar-bendar, dia tahu syarat-syaratnya, dia boleh bersedia. Kalau tidak, dia bila sampai giliran dia nanti, tengok dia tak layak. Jadi kita tidak mahu sasaran kita B40 khususnya, jangan akhirnya rumah yang kita sasarkan kepada dia, dia tak dapat beli kerana tidak dapat kelulusan bank atau gagal nak menyertai program sewa beli, rumah B40, M40 yang beli, rumah M40 orang kaya yang beli. Jadi orang kumpulan sasaran kita terus tak ada rumah sendiri. Jadi kita tak nak ini berlaku. Kita harap kali ini dengan kerjasama Ambank, kita dapat melaksanakan sistem sewa beli ini dengan teratur dan dapat dijalankan, dilaksanakan dengan cekap dan memenuhi cita-cita kita untuk beri, untuk kumpulan sasaran ini memiliki rumah sendiri.
Saya ingin menyentuh pengurusan banjir. Segala usaha untuk membina beberapa infrastruktur mencegah banjir, mencegah dan mengawali banjir sangat dihargai. Banjir kilat sering berlaku akhir-akhir ini termasuk di kawasan DUN saya, disebabkan hujan yang amat lebat serta ribut petir. Ianya lebih teruk lagi kalau sewaktu, sewaktu pula dengan air pasang besar bagi rumah-rumah di tepi pantai atau sungai. Hujan begitu lebat hingga menyebabkan air naik, tapi hujan, banjir ini banjir kilat. Dua, tiga jam air habis, tapi dah masuk rumah, satu, dua kaki dan air. Jadi perkara-perkara macam ini rasa saya banjir ini berlaku kerana perparitan sistem perparitan yang tidak di selenggara. Itu punca besarnya. Tidak di selenggara dengan baik atau langsung tidak di selenggara. Ada disebut dalam bajet 2021 ini peruntukan RM40 juta untuk penyelenggaraan parit. Jika dibahagikan dengan 10 daerah, RM4 juta lah satu daerah. Bagi pengorekan sungai pula, disediakan peruntukan RM20 juta satu daerah. Mungkin peruntukan-peruntukan ini adalah begitu, tidak begitu banyak tapi memadai. Untuk menyelenggara parit dan sungai sebagai usaha awalan untuk mencegah dan mengawal banjir.
Masuk kepada Agenda Johor Madani, berkaitan dengan memelihara kebudayaan dan warisan, saya Tanjung Surat suka mencadangkan pemakaian baju batik bermula dengan pejabat penjawat awam pada setiap hari Ahad. Walaupun batik bukan sinonim dengan Johor, tidak mustahil satu hari nanti Johor boleh memulakannya. Sekarang kita ada perusahaan kain tenun Johor, tidak mustahil pula batik selepas ini. Dengan pemakaian batik secara meluas, dapat membantu pembuat, pemborong dan peruncit mengembangkan perniagaan mereka terutamanya ketika perniagaan mereka terjejas teruk oleh pandemik COVID-19. Sekarang ini kedai-kedai yang menjual pakaian batik kelihatan begitu muram sekali. Jadi kita harap mungkin hari Ahad, penjawat awam semua pakai baju batik dan kita yang bukan penjawat awam pun boleh pakai.
Agenda Johor Berkebajikan. Agenda ini dapat mengurangkan kesan himpitan hidup rakyat yang terjejas dengan akibat, terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Pemberian one-off kepada mereka yang layak sudah tentu dapat menolong mereka.
Saya masuk pula kepada isu-isu kawasan saya. Saya ingin cerita kawasan saya adalah kawasan pengeluaran industri minyak dan gas. Pada tahun sekitar pertengahan 2015 begitu, 2014, kita telah menempatkan semula enam buah kampung ke suatu kawasan yang sekarang kita panggil Taman Bayu Damai, jadi enam kampung telah ditinggalkan ataupun diambil alih oleh pemain industri minyak dan gas. Itu, dan dia orang selain daripada pampasan dapat, dia dapat tanah kurniaan satu ekar. Baru-baru ini, tahun lepas ada satu kampung lagi, dia lewat sikit. Nama dia Kampung Sungai Buntu. Nama pun Buntu, buntu juga ni, kurniaan dua ekar ini. Saya berharap Kampung Sungai Buntu ini diberi sebagaimana enam kampung yang terdahulu, dua ekar tanah kurnia yang seperti yang diberi kepada mereka yang terdahulu kerana sebab mereka pindah sama sahaja, cuma pihak UPEN, pegawai UPEN memberitahu mereka tak ramai, 27 pemilik sahaja. Dan, dia mereka ini telah, mereka ini telah, mereka ini telah berpindah sekarang dan telah diberitahu oleh pihak UPEN, pegawai UPEN mengata mereka pun layak menerima tetapi tiada hitam putih. Sampai setakat sekarang, tidak ada apa-apa lagi. Mana-mana pihak yang secara rasmi menawar atau kepada mereka tanah dua ekar ini. Saya merayu kepada kerajaan negeri supaya 27 orang ini mendapat dua ekar tanah pampasan, tanah kurniaan seperti enam kampung terdahulu.
Seterusnya, saya ingin menarik perhatian kepada satu kawasan pantai di kampung saya, di kawasan saya, iaitu Pantai Batu Layar. Ini satu kawasan yang menarik, pantai yang menarik, pelancong ramai hujung minggu khususnya, masa cuti Merdeka 31 Ogos itu, sampai jammed, sesak di kawasan sekitarnya, sampai berlaku accident. Pantai ini cantik tapi tidak ada fasiliti-fasiliti pelancongan. Ada orang-orang buat chalet kat tepi-tepi itu, buat toilet ataupun tandas, nak pergi buang air kecil RM0.50, nak buang air besar RM1 kan, benda-benda macam itulah. Jadi saya harap pihak kerajaan atau KEJORA ke, tolong tengoklah kawasan ini yang patut dibangunkan sebaik-baiknya.
Lagi satu, tanah lot saya panggil tanah lot Kampung Changi, bukan di Singapura di Changi, tempat saya pun ada Changi. Kampung Changi ini mempunyai 310 lot kurniaan kerajaan. Tiap-tiap lot 6,000 kaki persegi untuk mendirikan rumah. Ada rizab jalan, ada rizab parit semua ada. Tapi setakat ini kerajaan tidak bina pun jalan ke, parit ke, paip ke....
YB Tanjung Surat, saya berada di sini, jadi berhadapan dengan Speaker, semasa berucap.
Ok. Sorry. Maaf. Puan Speaker, maafkan saya, jadi tanah lot Kampung Changi ini mempunyai 310 lot, 6,000 kaki persegi tidak ada, ada rizab tapi tidak dibina infrastruktur, air, api, elektrik semua tidak ada. Orang yang sudah buat rumah pandai-pandai dialah mana nak tarik air, mana nak tarik api. Ada orang yang jual pula, lepas itu ditambaknya, menyebabkan banjir pula di kawasan jiran, macam-macam masalah. Jadi, saya berharap dapatlah kawasan ini dinaikkan taraf, berikan infrastruktur yang selengkap-lengkapnya, jalan, api, bekalan air, telefon, elektrik, perparitan yang baik supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak ingin seperti banjir dan sebagainya untuk mereka-mereka ini, semua orang-orang kampung yang nak mendirikan rumah, yang tengok tiada infrastruktur, ada yang dah jual. Walaupun sekarang, dulu jual murah saja, sekarang mahal dah. Jadi saya harap dapat di beri keutamaan oleh kerajaan negeri untuk membantu Kampung Changi ini.
Selain daripada itu, saya berharap pembangunan-pembangunan di kawasan saya dapat diteruskan walaupun ada kekangan-kekangan yang tidak membolehkan jalan dengan mengikut jadual, banyak lagi projek-projek yang perlu disiapkan kerana kini semua untuk
kemudahan rakyat di kawasan saya. Begitu juga jalan-jalan sekitar pembangunan industri minyak dan gas Pengerang ini, jalan-jalan yang telah di bina dengan melebihi 20 lebih, melebihi RM2.5 bilion yang masih tidak siap sepenuhnya ataupun belum diserah kepada JKR, masih nak kata dalam pembinaan, macam dan siap, nak kata dah siap, traffic light selalu rosak. Jadi, saya harap pembangunan-pembangunan yang macam ini dapat diselaraskan, dapat di beri keutamaan, menyudahkan, menyiapkan dengan sebaik mungkin supaya hasrat kerajaan untuk membangun industri minyak dan gas bukan sahaja memberi kemudahan kepada pemain-pemain industri ini, malah memberi pulangan ataupun memberi kemudahan kepada penduduk-penduduk di kawasan Pengerang.
Sila gulung.
Oh, sudah time. Puan Speaker, sebagai penutup, Tanjung Surat ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Ir. Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor di atas pembentangan Bajet 2021 yang pada saya begitu responsif kepada keadaan semasa, realistik dan praktikal. Pengalaman dan pendedahan beliau yang pernah dilalui setelah menjadi Ahli Parlimen, ADUN, EXCO, Ketua Pembangkang selama 22 bulan dan sekarang...
Sila duduk, azan.
Ya?
Sekarang azan.
Tak dengar.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)
Yang Berhormat Tanjung Surat.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Ir. Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor di atas pembentangan Bajet 2021 yang begitu responsif kepada keadaan semasa realistik dan praktikal. Pengalaman dan pendedahan yang beliau pernah lalui setelah menjadi Ahli Parlimen, ADUN, EXCO, Ketua Pembangkang selama 22 bulan dan sekarang Menteri Besar digunakan sepenuhnya oleh beliau dalam menyediakan Bajet 2021 ini. Saya difahamkan beliau terlibat secara hands on dengan izin, dari mula hingga ke akhir penyediaan bajet ini. Sejarah juga telah tercipta kerana beliau merupakan jurutera pertama yang dilantik sebagai Menteri Besar di negeri Johor ini. Syabas Yang Amat Berhormat Datuk.
Puan Speaker, maaf sekali lagi, Tanjung Surat dengan ini mohon menyokong Bajet 2021. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Mengkibol, jemput.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana membenarkan saya membahas. Hari ini Mengkibol akan menyentuhkan 5 perkara:
1. Majlis Tindakan Ekonomi Negeri. 2. Tanah terbiar. 3. Kenaikan jumlah hasil sebanyak 45%.
4. Produktiviti dan keberkesanan. 5. Kebajikan dan vaksin.
Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, atau Ibrahim Johor Economic Council (IJEC). Pertama-tamanya saya ingin kongsikan satu petikan tokoh terkenal dunia. Jangan tanya apa yang dapat dilakukan oleh negara anda untuk anda, tanyakan apa yang dapat anda lakukan untuk negara anda. Original, dengan izin, ask not what your country can do for you, ask what you can do for your country, John Kennedy.
Saya percaya semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini mempunyai niat asal dan aspirasi yang murni semasa menceburi politik. Sama juga dengan semua parti politik, tak kira DAP, PKR, AMANAH, UMNO, MCA, MIC mempunyai objektif ataupun niat asal yang murni semasa penubuhannya. Dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 26 hari bulan yang lepas, saya berharap segala niat murni dan usaha keras ini akan dapat dilaksanakan dan dijayakan dengan sebaiknya khususnya dengan sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua Ahli Berhormat di dalam Dewan yang Mulia ini. Semalam juga saya terima jawapan bertulis daripada Menteri Besar bahawa mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Negeri telah diadakan pada 6 hari bulan Julai yang lepas dan ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada pakar-pakar dan individu yang berpengalaman. Kerjasama melangkaui parti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan isu COVID-19 perlu diluaskan sehingga ke peringkat negeri. Seperti dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh PH Johor bahawa kita memang menyambut baik cadangan yang diusulkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga dalam ucapannya berkata bahawa inilah waktunya untuk kita buktikan bahawa ideologi, fahaman politik dan pendirian yang berbeza tidak akan mengatasi kecintaan kita kepada negeri Johor. Beliau juga menyeru semua ADUN agar bersolidariti demi Johor. Beliau berkata, kerjasama antara ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang sangat diperlukan untuk membangunkan kembali ekonomi negeri. Maka Mengkibol ingin bercadang supaya ADUN-ADUN parti pembangkang juga dijemput untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri demi menyempurnakan usaha pemulihan ekonomi kita.
Perkara kedua, pemajuan tanah terbiar. Tanah adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Soalannya, bagaimanakah kita memajukan tanah terbiar? Mengikut draf Rancangan Tempatan RTD Daerah Kluang yang baru diumumkan bagi guna tanah daerah Kluang tahun 2019, 95.32% tanah merupakan kawasan bukan tepu bina. Antaranya 12.51% merupakan kawasan hutan dan 80.29% adalah kawasan pertanian. Dan juga berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Jabatan Pertanian Kluang semasa pejabat ADUN Mengkibol menganjurkan Hari Teknologi Pertanian Moden dan pelaksanaan projek Auto Fertigasi pada bulan Oktober tahun lepas. daerah Kluang memilik lebih dari 832 hektar tanah persendirian yang tidak dimajukan. Manakala tanah milik kerajaan masih lagi belum dihitung pada waktu tersebut.
Maka, Mengkibol telah juga mengajukan dua soalan untuk persidangan ini berkenaan dengan tanah terbiar. Pertama, sila nyatakan keluasan dan lokasi setiap keping tanah terbiar kerajaan di seluruh negeri mengikut daerah. Kedua, sila nyatakan keluasan tanah yang tidak dimajukan di tapak Ayer Hitam dan tapak Padang Hijau bawah Projek Pertanian Moden.
Seperti dalam ucapan Menteri Besar, kita benar-benar berada dalam a very unprecedented circumstances maka kita perlu fikirkan, pertama, apakah positioning kita? Apakah hala tuju strategik kita? Apakah sektor strategik negeri kita? Mengkibol ingin ambil example, ambil Singapura sebagai contoh. Singapura position sebagai international center, maka international traveler, pelawat antarabangsa menjadi begitu penting. Maka sektor
penerbangan, aviation menjadi sektor strategik. Maka banyak sumber telah diguna di Changi Airport, di Changi Airport bukan sahaja ada kapasiti untuk COVID test sampai 15,000 atau 20,000 passenger setiap hari juga ditubuhkan satu makmal, satu makmal COVID di Changi Airport.
Maka Mengkibol bercadang pemodenan, pembangunan pertanian dijadikan sebagai salah satu strategi utama pembangunan ekonomi negeri Johor serta meningkatkan dasar pendanaan dan sokongan untuk penggunaan teknologi moden dan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian moden ini. Kerajaan tidak harus hanya memberikan pelbagai jenis bantuan tunai yang mungkin tidak dapat menjanakan pendapatan. Kita perlu bantuan yang sanggup meningkatkan produktiviti dan pendapatan. Mengkibol yakin pemajuan tanah terbiar dengan teknologi moden dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan dan seterusnya memulihkan ekonomi semasa pandemik. Produktiviti-produktiviti, bantuan tunai yang diterima jika digunakan untuk membeli TV yang besar, jika dibeli aksesori kereta ia tidak boleh mendatangkan peningkatan pendapatan tetapi bantuan dan bentuk pemberian sektor pertanian, mesin jahit, oven dan peralatan pembuatan boleh mendatangkan pendapatan.
Pejabat Mengkibol dan Jabatan Pertanian Kluang pernah mengadakan dua seminar dan membuka kaunter perkhidmatan untuk permohonan bantuan pertanian pada bulan Julai, Oktober tahun lepas. Saya meminta Jabatan Pertanian semua daerah untuk membuka kepada lebih banyak permohonan, permohonan bantuan untuk mendorong pemajuan tanah terbiar. Bantuan ini juga merangkumi penyediaan baja, racun herba, anak benih, mesin pemotong rumput, sistem penyiraman dan lain-lain. Pejabat Mengkibol pernah hantar kertas cadangan kepada bekas Menteri Pertanian, Growing 100 Smart Techno Farmer untuk menggunakan 500 ekar tanah dalam projek pertanian moden yang mempunyai 800 ekar ruang kosong di tapak Ayer Hitam Jalan Batu Pahat dan 2,000 ekar ruang kosong di Padang Hijau, Kampung Gajah, Jalan Mersing untuk dimajukan. Dengan tiga syarat, pertama, orang muda. Kedua, usaha sendiri, jangan sublet. Ketiga, mengguna teknologi moden. Dalam ucapan Menteri Besar isi ke 66, menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri untuk Rancangan Dasar Agro Makanan Negeri Johor. Maka, Mengkibol ingin bercadang supaya ADUN-ADUN parti pembangkang turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri ini demi menyumbangkan idea.
Perkara ketiga, jumlah hasil dianggar naik 45% berbanding dengan tahun 2019, dalam ucapan Menteri Besar isi ke-5, nadi ekonomi kita hampir terhenti kerana penutupan sempadan dan perintah kawalan pergerakan yang bersilih ganti, on and off. Isi ke-30, kita tidak tahu bilakah pandemik ini akan berakhir? Dan setakat manakah hasil boleh dikutip dalam keadaan yang tidak menentu ini? Akan tetapi, kalau kita tengok Belanjawan 2021, anggaran jumlah hasil 2021 adalah sebanyak RM773 juta, muka surat 1 menunjukkan kenaikan sebanyak 45.07% berbanding dengan RM533 juta pada tahun 2019. Semasa membuat perbandingan kita perlu berbanding dengan tahun 2019, mengapa? Sebab tahun 2020 adalah satu tahun luar biasa dengan adanya economic lock down. Ini jelasnya terlalu optimistik seperti komen Menteri Besar terhadap anggaran pertumbuhan ekonomi negara dalam ucapan beliau. Ini optimistik kerana tiada bukti aktiviti ekonomi pelbagai sektor sudah dapat pulih semula seperti tahun 2019 sebelum wabak COVID-19 melanda dan ini bercanggah dengan pengakuan Menteri Besar dalam isi ke-7 iaitu ekonomi kita menguncup, pengangguran kita meningkat, pelaburan baharu kita berkurangan, perniagaan terpaksa menghentikan operasi, kuasa beli rakyat semakin merosot dan kutipan hasil negeri terjejas teruk dalam ucapan Menteri Besar. Mengkibol berharap kenaikan 45% ini bukan bermaksud kerajaan akan memulakan tindakan pungutan cukai yang keras, maka Mengkibol bercadang jabatan berkenaan mengira semula anggaran-anggaran dengan mengambil kira faktor keadaan ekonomi dan pandemik yang terkini dan juga faktor PKPB di bulan November dan juga faktor MBJB.
Puan Speaker izinkan saya menerangkan apa itu faktor MBJB. Dalam peringkat PKPB sekarang ini peranan penguatkuasaan jabatan-jabatan kerajaan haruslah fokus pada memberi bantuan dan bimbingan agar pengusaha dan peniaga untuk beroperasi semula mengikut pelbagai SOP dan kurangkan hukuman dan denda. Pembukaan syarikat dan kedai membolehkan rakyat balik bekerja dan ekonomi dapat dipulih dengan cepat. Jangan lupa setiap pekerja perniagaan tersebut ada keluarga masing-masing. PBT-PBT harus menyahut saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya menjadi Kerajaan Tempatan yang berkeprihatinan dan bersimpati.
Operasi turunkan papan iklan MBJB akan membawa impak negatif terhadap ekonomi peringkat pemulihan. Walaupun YB Dr. Chong dan juga YB Parlimen, YB Chong berada di tempat berkenaan semasa penguatkuasaan tetapi nampaknya MBJB masih begitu tegas untuk mengambil tindakan yang begitu keras.
Yang Berhormat Puan Speaker, anggaran perbelanjaan pembangunan 2021 adalah pada RM850 juta, muka surat I, berbanding dengan RM780 juta pada tahun 2020. Kenaikan sebanyak RM70 juta ataupun 8.97% adalah terlalu rendah. Mengapa? Sebab kita memandangkan ucapan MB bahawa nadi ekonomi kita hampir terhenti, ekonomi kita menguncup, pengangguran kita meningkat, pelaburan baharu kita berkurangan. Dan jika kita bandingkan dengan belanjawan kerajaan persekutuan, perbelanjaan pembangunan adalah meningkat sebanyak 23.21%, iaitu lebih kurang 9% berbanding dengan 23%. Perbelanjaan pembangunan ini penting sebab dia membawa impak jangka panjang, maka ia harus dipertambahkan. Manakala defisit dianggarkan sebanyak RM248 juta. Ia harus dipertimbangkan untuk meningkat lagi terutamanya untuk persiapan pembukaan semula sempadan.
Perkara ini harus juga dipandang serius kerana Johor adalah salah satu negeri yang paling terjejas dari segi aktiviti ekonomi berikutan penutupan sempadan. Contohnya, di CIQ Johor Bahru. Seperti yang saya cadangkan semasa perjumpaan beberapa hari sebelum persidangan dewan, kita memerlukan penubuhan satu makmal, testing COVID-19 seperti Changi Airport, kita memerlukan satu makmal di CIQ. Mengikut Department Of Standard Malaysia, makmal accredited yang sudah di certified, accredited medical testing centre adalah sebanyak 6 di Johor Bahru, yang paling dekat dengan CIQ adalah 12 km. Maka, saya minta kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini.
Pandemik dan penutupan sempadan memberikan impak yang besar kepada pelaburan dan jawapan EXCO Pelaburan semalam dikatakan bahawa jumlah pelaburan setakat September tahun ini telah berkurangan sebanyak RM5.74 bilion. Salah satu komponen GDP adalah pelaburan. Maka Mengkibol bercadang kerajaan memberikan insentif untuk menarik pelaburan baru, contohnya, trade war package yang diberikan oleh Thailand, Vietnam untuk menarik pelabur dari negara China dan menggalakkan pelaburan semula dalam negeri. Ini selaras dengan soalan saya tadi apakah positioning kita, apakah hala tuju strategik kita, apakah sektor strategik negara kita? Memandangkan sudah banyak syarikat menubuh pusat R&D Singapura, maka Mengkibol bercadang untuk memajukan sektor farmaseutikal dan vaksin. Johor boleh merangkakan satu hab industri pembuatan peralatan farmaseutikal dan vaksin yang menyasarkan pasaran Timur Tengah dan halal di sekitar Senai Airport.
Perkara keempat, produktiviti dan keberkesanan. Saya sebut perkataan produktiviti lebih 10 kali dalam ucapan saya di bulan September. Kerana saya ingin cuba menjelaskan hubungan produktiviti dengan pendapatan, nilai pertumbuhan ekonomi dan kemampanan. Jika produktiviti tidak meningkat dengan perbelanjaan dan pelbagai bantuan yang tinggi, kita akan jatuh ke dalam perangkap hutang yang serupa dengan negara Greece. Kita mesti ingat pertumbuhan pendapatan negara dan individual bergantung kepada produktiviti dan nilai hasilnya. Dan pertumbuhan produktiviti mesti melebihi kenaikan gaji. Maka, rakyat kita
atau negara kita jika kita ingin mencapai pendapatan yang tinggi, kita tidak boleh lari dari produktiviti.
Keberkesanan. EXCO Kerja Raya, YB Solehan bersama hampir 15 pegawai JKR termasuk Pengarah, Timbalan Pengarah, Jurutera 2 Daerah melawat Sri Lalang, Kluang pada 18 Julai 2019. Saya sempat menunjukkan semua kecacatan jalan raya yang serius dalam bulan September di Dewan saya pun mengajukan satu soalan, banyak kemalangan kereta terbabas di lampu isyarat kerana terlanggar divider. Kelebaran jalan...
Mengkibol sila gulung.
2 minit lagi, terima kasih. Kelebaran dikurangkan dari 3.5 meter menjadi 2.3 meter. Tiada jawapan. Salinan surat saya terima dari JKR untuk minta JKR Batu Pahat buat siasatan tapak, tiada jawapan. Mengkibol hantar surat susulan kepada JKR 3 November, tiada jawapan. Sekarang saya sediakan surat susulan kepada surat susulan dan saya akan serahkan kepada wakil JKR selepas ucapan saya. Surat susulan kepada surat susulan, ini tunjukkan tidak keberkesanan dan ini melibatkan nyawa pengguna jalan raya. Kita kena buangkan pemikiran dan juga menolak budaya tidak apa, esok lusa, mediocrity.
Puan Speaker membenarkan saya 1 minit lagi. Mengkibol mengalu-alukan penubuhan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor terutamanya latihan akauntan bertauliah. Saya harap ini dapat melatihkan lebih banyak auditor supaya audit performance agensi kerajaan dan GLC.
Perkara terakhir, Kebajikan dan Vaksin. Kerajaan telah sediakan peruntukan RM7 juta untuk penginapan pelancong asing tetapi tidak diguna pakai sebab penutupan sempadan. Saya cadang ini boleh digunakan untuk mereka yang dulunya berulang alik seharian ke Singapura tetapi sekarang menjadi gelandangan di Singapura, dan membantu mereka dari segi penginapan dan sara hidup.
Vaksin. Mengkibol bercadang belanjawan perlu sediakan peruntukan supaya semua rakyat Johor diberi vaksin COVID-19 secara percuma. Saya juga ingin rujuk kepada ucapan Menteri Besar, isi ke-103; “Kutipan hasil dan kedudukan defisit bergantung kepada kestabilan ekonomi negeri dan kestabilan ekonomi ini dipandu oleh faktor-faktor seperti berikut; kecekapan perbelanjaan, keberkesanan penyampaian belanjawan ini.” Maka, Mengkibol ingin cadang Dewan yang mulia ini dapat ditubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas untuk memantau keberkesanan pelaksanaan Bajet 2021. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada YB Mengkibol. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Yong Peng.
Terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker. Yong Peng mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2021.
Yang Berhormat Puan Speaker, di antara masalah utama yang sering berlaku di Yong Peng adalah banjir kilat. Penduduk mula gelisah setiap kali hujan lebat kerana bimbang rumah dinaiki air terutama di Jalan Kota 8, Taman Kota, Taman Desa dan Taman Damai Jaya dan juga Jalan Hujung, Yong Peng. Saya berharap pihak Majlis Daerah Yong Peng dapat segera mengenal pasti punca banjir dan mengambil tindakan segera kerana musim tengkujuh hampir tiba. Di Taman Desa dan Taman Damai Jaya, setakat ini banjir telah dapat dielakkan setelah pihak JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran menyelenggara Sungai Temehel dan juga kolam tadahan yang di bawah jagaan JPS. Kerjasama antara pihak PBT dan jabatan-jabatan yang terlibat amat penting agar dapat membantu rakyat. Maka, Yong
Peng berharap JPS dapat menyelenggara Sungai Temehel, Sungai Bekok, Sungai Sedi yang di kawasan Yong Peng dan juga kolam tadahan di setiap taman-taman di pekan Yong Peng.
Yong Peng ingin tekankan di sini, pihak PBT hendaklah memastikan segala syarat-syarat dan juga SOP...
Yang Berhormat Speaker, Peraturan 45, pembahas kena menghadap kepada Speaker.
Sila berhadap.
Saya teruskan. Maka PBT hendaklah memastikan segala SOP dan juga syarat-syarat dipatuhi oleh pemaju terutamanya berkenaan sistem saliran dan perparitan sebelum kelulusan sesuatu projek diberikan supaya tidak mendatangkan masalah kepada penduduk di kemudian hari.
Seterusnya saya ingin membangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini berkenaan kes denggi di kawasan Yong Peng. Pada 21 September 2020 yang lalu, terdapat satu kes kematian kes denggi di Taman Sri Aman, Yong Peng. Penyakit ini sudah menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Selain daripada mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan rumah dan memastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, PBT juga perlu mengambil tindakan segera dengan membaik pulih sistem longkang serta perparitan yang kotor, rosak dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Saya mencadangkan aktiviti gotong-royong secara berkala juga dilaksanakan di semua kawasan perumahan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Sungai Bekok dan Sungai Temehel di Yong Peng berada di kawasan amat strategik untuk dibangunkan dan dinaik taraf menjadi destinasi pelancongan. Kedudukan sungai yang berhampiran dengan Dataran Gemilang, Yong Peng akan mengubah kawasan ini menjadi tarikan pelancong dan meningkatkan ekonomi penduduk. Cadangan menaik taraf antaranya termasuk dengan membina kiosk makanan, membina jeti dan perkhidmatan menaiki bot di sepanjang sungai tersebut. Saya berharap cadangan ini dapat direalisasikan sekali gus dapat memberi manfaat kepada para peniaga di sekitar kawasan berkenaan.
Yang Berhormat Puan Speaker, permohonan untuk menaik taraf jalan perhubungan desa sepanjang 9 km dari Kampung Banjir Bersatu ke Sri Lalang telah saya majukan pada 2019. Projek ini amat perlu kerana akan meningkatkan taraf hidup dan memberikan keselesaan perhubungan kepada penduduk luar bandar yang melibatkan seramai kira-kira 1000 orang penduduk dari 2 buah kampung dan estet-estet di sekitarnya. Saya berharap pihak kerajaan dapat meluluskan projek ini supaya dapat memberi kemudahan terutamanya pusat kesihatan, sekolah dan kemudahan awam yang lain kepada rakyat dapat diberi.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin mencadangkan pihak kerajaan untuk menyediakan wad harian di Klinik Kesihatan Yong Peng. Wad harian ini bertujuan untuk memberi perkhidmatan kritikal yang dilakukan dalam hari yang sama dan tidak memerlukan pesakit bermalam di wad hospital. Ini kerana masa yang diambil dari Yong Peng ke Hospital Batu Pahat adalah kira-kira 45 minit. Ini amat menyukarkan rakyat untuk mendapatkan rawatan. Dengan adanya wad harian ini di Klinik Kesihatan Yong Peng dapat mengurangkan kesesakan wad di Hospital Batu Pahat, juga mengurangkan beban emosi dan beban kos perjalanan pesakit untuk ke hospital. Saya berharap kerajaan negeri dapat menyediakan kemudahan, kepakaran dan fasiliti yang lengkap.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bas Muafakat. Laluan bas Muafakat Johor dari Yong Peng ke Kangkar Baru telah diluluskan dan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020. Namun, sampai hari ini masih belum dilaksanakan. Saya mohon pihak kerajaan negeri dapat melaksanakan segera agar dapat memberi kemudahan kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan bas ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, seterusnya saya ingin menyentuh tentang inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk rakyat Johor. Antaranya skim Takaful Warga Emas dan Kad Sihat Johor. Saya berharap Skim Takaful Warga Emas Johor yang menawarkan manfaat bantuan RM1000 sebagai khairat kematian kepada rakyat tidak akan dihentikan. Begitu juga dengan Kad Sihat Johor yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakyat. Masing-masing berasa bersyukur dengan skim ini dan berharap inisiatif ini tidak dihentikan pada masa-masa akan datang.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin membangkitkan juga berkenaan masalah sekolah ditutup, menyebabkan para pelajar terpaksa belajar secara atas talian, online. Saya berasa kasihan kepada keluarga dan pelajar yang tidak memiliki kemudahan laptop dan telefon pintar untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian tersebut. Hal ini akan menyebabkan para pelajar akan keciciran. Oleh itu, saya memohon pihak kerajaan untuk menyediakan laptop kepada para pelajar yang memerlukan.
Yang Berhormat Puan Speaker, masa kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 dan juga tahun 2019 telah memberi peruntukan kepada sekolah menengah swasta cina iaitu High School di seluruh negeri Johor. Saya berharap kerajaan negeri Johor dapat memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah ini dalam tahun 2021.
Ada satu isu yang amat penting, Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin menarik perhatian Dewan berkenaan nasib rakyat Malaysia yang menjadi gelandangan di Singapura. Akhir-akhir ini kita mendengar beberapa berita tentang keperitan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, sejak virus COVID-19 melanda rakyat, rakyat di Singapura tidak dapat, rakyat Malaysia yang kerja di Singapura tidak dapat berulang alik untuk bekerja. Mereka terpaksa menetap di Singapura bagi mencari rezeki walaupun terpaksa menjadi gelandangan kerana tidak mampu menyewa walaupun sebuah bilik kerana kos sara hidup yang tinggi di sana. Oleh yang demikian, saya mengucap tahniah kerajaan negeri yang mengedar bakul makanan melalui Johor Volunteer untuk membantu saudara kita dan kalau berupaya, menyedialah pusat penginapan untuk warga Malaysia di sana. Kita harus bekerjasama menunjukkan keprihatinan agar nasib mereka terbela.
Yang Berhormat Puan Speaker, saya ingin memohon pihak kerajaan memajukan tanah terbiar di negeri Johor termasuk tanah terbiar dalam kawasan pentadbiran PBT, untuk diusahakan dengan projek pertanian. Projek ini akan memberi peluang kepada petani serta pekebun bagi menjalankan pertanian berskala kecil, sekali gus meningkat produktiviti dan hasil pertanian. Untuk tujuan ini, saya mencadangkan pihak kerajaan dapat juga membantu pekebun dengan membekalkan input pertanian berupa benih, baja, racun dan bantuan pembersihan kawasan pertanian serta pembangunan infrastruktur seperti pemasangan sistem perairan dan perataan tanah. Saya berharap perkara ini dapat direalisasikan agar dapat membantu rakyat yang hilang pekerjaan dan terjejas pendapatan akibat COVID-19.
Sebelum saya, saya ambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua front liner yang tolong menjaga keselamatan dan juga jaga kesihatan seluruh rakyat khasnya front liner di kawasan Yong Peng seperti staf KK Yong Peng, PDRM, Bomba dan juga Penguat kuasa PBT.
Yang Berhormat Puan Speaker, sekian ucapan saya pada kali ini, saya berharap segala isu dan cadangan yang saya utarakan akan diperhalusi oleh pihak kerajaan demi menjaga kebajikan rakyat khususnya penduduk di Yong Peng. Sekian terima kasih.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Yong Peng. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 1 Disember 2020 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.02 petang.