Johor · 1 December 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 213 turns · 35,739 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, dimaklumkan bahawa Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor telah memperolehi Sijil ISO 9001:2015 di bawah skop Pengurusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan, Majlis Jawatankuasa-Jawatankuasa Negeri Johor, Persidangan Dewan Negeri Johor dan Pengurusan Pembayaran Pencen dan Ganjaran Ahli Dewan Negeri Johor. Tahniah diucapkan.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Yang Berhormat Kemelah jemput.
Terima kasih Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 1.
Sila berikan keluasan tanah terbiar di Negeri Johor yang telah di manfaat sehingga kini, industri berkaitan yang diusahakan atas tanah tersebut serta keluasan tanah terbiar yang belum di manfaat.
Yang Berhormat Pekan Nanas jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 2.
Apakah strategi dan langkah-langkah kerajaan negeri untuk mengoptimumkan tanah-tanah terbiar bagi meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara khasnya pada masa perebakan Covid-19?
Yang Berhormat Tiram jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.
Dalam keadaan COVID-19 menular dan PKPB ramai hilang pekerjaan; cadangan; “tanah terbiar” yang berada di kawasan-kawasan DUN akan membantu penganggur-penganggur ini dapat peluang menceburkan diri dalam pertanian. Apakah prosedur dan protokol untuk mendapatkan tanah terbiar ini?
Jemput Yang Berhormat EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada ADUN Kemelah, Yang Berhormat Pekan Nanas dan Yang Berhormat DUN Tiram yang membangkitkan soal tanah terbiar.
Untuk makluman tanah terbiar didefinisikan sebagai tanah darat yang berkeluasan minimum 0.4 hektar. Sama ada ia bersambungan atau bertaburan, yang merupakan tanah milik kerajaan atau individu dan rizab pertanian yang tidak diusahakan selama 3 tahun berturut-turut.
Mengikut data Jabatan Pertanian Malaysia keluasan tanah terbiar yang direkod bagi negeri Johor pada tahun 2019 adalah sebanyak 10,097.79 hektar. Kawasan ini melibatkan 4,561 lot bertaburan di seluruh daerah dalam negeri Johor. Hampir keseluruhan lot-lot ini adalah terdiri daripada lot-lot tanah kecil berkeluasan sekitar 1 hingga 3 ekar setiap lot. Tanah terbiar ini mempunyai pelbagai masalah seperti tanah adalah hak milik, berhak milik dan kebanyakan tuan tanah sukar dikesan untuk dihubungi secara terus oleh Jabatan Pertanian.
Selain itu, tanah adalah terhad kepada sesuatu jenis tanaman sahaja disebabkan faktor ciri tanah dan kedudukan tanah yang rendah sering menghadapi masalah banjir. Dalam usaha memanfaatkan tanah yang terbiar untuk tujuan pertanian, Jabatan Pertanian menggalakkan usahawan tani dan pemilik tanah untuk mengusahakan tanah dengan aktiviti pertanian menerusi projek pembangunan tanah terbiar. Melalui projek pembangunan tanah terbiar yang telah diwujudkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan diteruskan hingga sekarang, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membangunkan tanah-tanah terbiar dan aktiviti-aktiviti pertanian yang memberikan keuntungan kepada pengusaha dan pemilik tanah.
Objektif utama adalah untuk mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah yang terbiar, meningkatkan pengeluaran tanaman makanan dan memberikan peluang kepada petani untuk menjalankan aktiviti pertanian, seterusnya menambahkan pendapatan petani.
Selaras dengan usaha untuk menjamin bekalan makanan yang telah digariskan dalam Dasar Agro Makanan Negara. Menggunakan sumber tanah secara optimum adalah diterapkan. Pembangunan tanah terbiar merupakan salah satu sumber asas yang memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara. Projek ini amat bertepatan sekali berdasarkan memandangkan sumber tanah yang subur untuk aktiviti pertanian yang semakin terhad.
Untuk tahun 2020, bagi program pembangunan tanah terbiar sebanyak 725,000 telah disalurkan melalui peruntukan persekutuan dan negeri. Bagi pembangunan tanah terbiar melibatkan pembangunan sebanyak 59.48 hektar tanah terbiar serta memberi manfaat kepada 21 orang pemohon.
Antara jenis projek tanaman yang diusahakan di bawah program ini adalah tanaman buah-buahan dan tanaman kontan.
Untuk tujuan itu, Jabatan membantu usahawan tani dan pemilik tanah dengan inisiatif yang seperti berikut :
1. Bantuan secara terhad seperti input pertanian merupakan benih, baja, racun, mesin dan peralatan kecil.
2. Bantuan bagi pembersihan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kerja-kerja perataan tanah.
3. Bantuan bagi pembangunan infrastruktur seperti pemasangan sistem pengairan dan saliran dan pembinaan jalan ladang.
4. Memberikan khidmat nasihat dan perundingan khususnya aspek teknikal penanaman.
5. Menggalakkan mengusahakan secara contract farming.
Daripada segi prosedur dan protokol, peserta hanya perlu membuat permohonan iaitu dengan mengisi borang permohonan Jabatan di Jabatan Pertanian dengan mengemukakan salinan kad pengenalan, salinan geran hak milik tanah, perjanjian sewa dan kertas kerja mengenai cadangan projek tanaman makanan yang ingin diceburi. Walau bagaimanapun, kelulusan projek akan diberikan setelah siasatan yang teliti dijalankan di peringkat lapangan.
Di antara aspek dan perkara yang akan diberi perhatian dan dinilai ialah jumlah permohonan yang diterima dan jenis projek yang dipohon dan latar belakang serta komitmen tuan tanah ataupun pengusaha yang tersebut.
Melalui Agen Pengembangan Tanaman (APT) yang berada di setiap mukim, pemantauan berkala turut dijalankan bertujuan untuk bertemu secara terus dengan petani atau pemilik lot tanah terbiar. Dengan pertemuan ini, penjelasan serta penerangan berkaitan insentif bantuan program tanah terbiar yang boleh dibantu oleh Jabatan Pertanian akan disampaikan khidmat nasihat teknikal, tanaman yang sesuai dibangunkan di kawasan tanah terbiar tersebut.
Walau bagaimanapun projek pembangunan tanah terbiar ini juga mempunyai pelbagai cabaran dan pelaksanaan. Antara cabaran utama adalah modal dan komitmen kepada pihak tuan tanah peserta itu sendiri. Pada masa ini suntikan modal peruntukan bagi kerja-kerja pembersihan kawasan diberikan oleh pihak kerajaan kepada mereka yang didapati layak. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek adalah bergantung kepada komitmen tuan tanah pengusaha tersebut. Dan terdapat beberapa projek tanah terbiar tidak mencapai matlamat dan akhirnya terbiar sekali lagi. Hal ini adalah disebabkan pihak kerajaan tidak dapat mengawal pengusaha tanah milik ini individu tersebut. Selebihnya terpulang kepada pengusaha tersebut.
Secara keseluruhannya kerajaan sentiasa menggalakkan pemilik-pemilik tanah terbiar ini untuk mengusahakan aktiviti pertanian yang mana ia berpotensi untuk menjana pendapatan, seterusnya meningkatkan sosioekonomi setempat. Terima kasih.
Ya Pekan Nanas jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kalau menurut Kanun Tanah Negara, pemilik perlu menggunakan tanah mereka mengikut syarat yang dinyatakan. Jika tuan tanah membiarkan tanah mereka tanpa diusahakan berterusan adalah dikira sebagai langgar syarat. Sebab itu tadi daripada jawapan daripada YB EXCO, kita dapati untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar kadangkala juga bergantung kepada komitmen daripada pemilik tanah. Tapi kalau di bawah sistem perundangan di negara kita, pihak kerajaan berhak menggunakan Kanun Tanah Negara untuk memastikan semua tanah yang terbiar dapat dimanfaatkan untuk kebaikan negara dan rakyat.
Soalan Yang Berhormat...
Oleh itu persoalan saya, adakah pihak kerajaan pernah melancarkan apa-apa program ataupun aktiviti-aktiviti untuk menyalurkan maklumat bahawa membiarkan tanah terbiar adalah satu kesalahan, melanggar syarat daripada segi undang-undang mengikut Kanun Tanah Negara. Supaya kita boleh mendorong, mendidik ataupun mendesak supaya tuan tanah mengambil inisiatif yang lebih proaktif seperti kalau dia tak ada modal, dia boleh mewujudkan usaha sama dengan pihak lain yang berminat supaya tanah yang terbiar di negeri Johor dapat digunakan sepenuhnya. Sekian, terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas atas soalan tambahan.
Sukacita saya nak maklumkan bahawa pertama, saiz tanah terbiar adalah berbeza antara tempat dengan tempat, lot dengan lot. Yang keduanya, kedudukan tanah terbiar juga berbeza tempat. Ada tanah terbiar yang duduk dalam kawasan PBT. Ada kawasan tanah terbiar yang berada dalam kawasan luar bandar dan desa. Maka dalam hal ini tuan-tuan dan puan-puan Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita saya nak maklumkan bahawa kalau misalnya dalam PBT, sudah pasti ianya tidak zon pertanian. Namun, adalah hak kepada empunya tanah untuk mengusahakannya. Pada masa yang sama juga, kita harus melihat kepada faktor apakah niat pengusaha untuk kegunaan tanah terbiar tersebut? Adakah ia untuk sekadar sara diri? Adakah dia hanya untuk sara diri? Ataupun adakah ia untuk mendapatkan penambahan pendapatan? Atau yang ketiganya adalah komersil? Dan ini juga bersangkut paut dengan sama ada usaha yang dibuat itu adalah berbentuk jangka pendek ataupun jangka panjang.
Kerajaan menetapkan menerapkan konsep supaya mengoptimumkan tanah-tanah dalam negeri Johor. To the extend dengan izin Yang Berhormat Tuan Speaker, kita juga nak menggalakkan tanah-tanah, empunya tanah-tanah kerajaan yang ada projek yang dicadangkan ada projek tetapi mengambil masa 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun digalakkan supaya diusahakan untuk program Agro Makanan.
Saya nak maklumkan Tuan Speaker, dalam negeri Johor ni 51.11% tanah dalam negeri Johor ni adalah digunakan untuk pertanian. Daripada 51.11% ni, 63.96% adalah tanaman pertanian komoditi iaitu kelapa sawit, getah dan sebagainya. Manakala untuk tanaman pertanian agro makanan, hanyalah 36.04%. Sebab itu dicadangkan, digalakkan agar pengoptimuman penggunaan tanah-tanah terbiar sama ada milik individu mahupun milik kerajaan digunakan. Asalkan ianya boleh membangun tanaman agro makanan dalam negeri Johor. Dan pada masa yang sama juga, kita juga menyediakan peruntukan yang besar, yang sederhana besar contohnya kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian mengkhususkan peruntukan RM200,000.00. Dan kita untuk tahun 2021, kita telah memperuntukkan RM4 juta daripada program, daripada LAKSANA dan ditambah RM800,000.00 daripada KPKT untuk tanaman komoditi. Tanaman komoditi ini boleh mengusahakan tanah-tanah terbiar sepertimana yang saya nyatakan tadi. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya Tiram.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai tanah terbiar ini, saya dapat maklumat daripada Pejabat Pertanian juga, mereka ada kemusykilan untuk contact atau menghubungi the owner dengan izinnya, pemilik tanah. Jadi mereka dapat susah untuk menawarkan tanah terbiar ini yang pemohon, satu.
Sekarang soalan saya ialah tanah terbiar ini saya tadi dapat maklumat daripada YB EXCO tadi, saya ingat 25,000 yang dapat itu baru berapa orang sahaja. Jadi, ramai tidak dapat menikmati tanah terbiar ini. Dan saya nak tahu berapa ramai sudah dapat tanah terbiar ini mengusahakan khususnya kalau ini tak boleh jawab sekarang, boleh jawab melalui tulis juga dekat DUN Tiram. Berapa ramai sudah mendapat tanah terbiar dan mengusahakan juga? Terima kasih.
Terima kasih YB Tiram. Saya tidak dapat memberi maklumat secara terperinci
berkenaan dengan DUN Tiram semata-mata tetapi saya telah maklumkan tadi bahawa kita telah membangunkan 59.48 hektar melalui projek tanah terbiar pada masa sekarang ini.
Pada masa yang sama, sepertimana saya juga maklumkan dan diperakukan oleh Yang Berhormat, perkara yang penting adalah mengenal pasti hak milik tanah tersebut dan ini juga adalah masalah yang dihadapi oleh pihak jabatan Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ok Skudai jemput.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, sesi soal jawab ini adalah satu sesi untuk kita membincangkan dasar dan orang menjawab biarlah tepat pada soalan. Ini bukan kali pertama ...
Soalan Yang Berhormat, soalan Yang Berhormat.
Di mana soalan yang ditanya tidak terjawab. Tadi Pekan Nanas tanya, adakah kerajaan bersedia atau telah atau akan menjalankan program kesedaran ke atas Kanun Tanah Negara tentang isu langgar syarat supaya kita dapat mengoptimumkan mungkin itu, perkara ini tidak dapat terjawab oleh Yang Berhormat EXCO, jadi mungkin kita minta Yang Amat Berhormat Menteri Besar tolong jawab sebab saya tengok beberapa kali soalan ini dia bukan sahaja berkenaan dengan pertanian, dia bertanya tentang tanah terbiar. Soalan dia, adakah kerajaan telah atau akan atau bersedia untuk menjalankan program kesedaran dan saya tambah lagi satu, adakah kerajaan bersedia untuk menjalankan program penguatkuasaan ke atas Kanun Tanah Negara supaya sumber tanah di negeri Johor dioptimumkan?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Skudai. Memang jawapan berkenaan dengan Kanun Tanah Negara bukan dalam bidang portfolio Pertanian dan Kemajuan Luar Bandar. Namun pada masa yang sama harus difahami bahawa banyak tanah-tanah, kegunaan tanah telah melanggar syarat tanah. Ini yang berlaku. Ada yang pertanian dibuat sebagai pembangunan perumahan dan ada yang pertanian juga digunakan untuk kawasan zon dijadikan sebagai kawasan perindustrian. Ini adalah satu cadangan yang baik dan boleh diambil kira dan dinilai selepas ini. Pada masa yang sama juga kepada kami yang penting adalah untuk mempastikan bahawa tanah-tanah terbiar digunakan secara optimum untuk pertanian tanaman agro makanan. Sebab itu dalam hal ini, saya tidak mahu menyatakan bahawa tidak menggalakkan pertanian komoditi tetapi realiti semasa ini ingin melihat bahawa agro tanaman, agro makanan ditekankan demi keselamatan bekalan makanan di masa depan. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Skudai jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.
Adakah status terkini atau inisiatif tentang pelaksanaan dasar mengharamkan penggunaan bekas makanan dan minuman polistirena di semua premis perniagaan yang sepatutnya dikuatkuasa mulai Julai 2020 di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan?
Yang Berhormat Senai jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 5.
Bilakah pihak berwajib akan menjalankan penguatkuasaan tentang penggunaan plastik dari penyedut minuman.
Ya, jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya menjawab bersekali soalan nombor 4 dan juga nombor 5. Terima kasih kepada YB Skudai dan juga YB Senai.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bekas makanan, minuman polistirena, plastik ataupun straw penyedut minuman ini, tiga serangkai yang tidak boleh dipisahkan dalam usaha kita menjaga alam sekitar dan juga kesihatan. Yang Berhormat Skudai bertanyakan soal status terkini dan inisiatif pelaksanaan dasar pengharaman bekas makanan dan minuman polistirena, manakala YB Senai bertanyakan bila pihak berwajib menjalankan penguatkuasaan penggunaan plastik dan penyedut minuman.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti semua maklum, polistirena mengandungi bahan toksik seperti benzin kalau betul ayatnya lah, dan benzin yang boleh membahayakan kesihatan termasuk mengandungi kaseinogen yang boleh menyebabkan kanser apabila terdedah kepada makanan panas. Contoh, mi mamak yang digoreng kemudian dimasukkan dalam bekas makanan polistirena, dia akan memberikan reaksi kimia dan boleh menjadi, membawa kepada kanser, ataupun teh tarik yang dimasukkan dalam bahan, cawan polistirena juga boleh membawa kepada kanser. Ini berdasarkan kepada kajian dakwaan pakar-pakar, Yang Berhormat.
Ketiga-tiga benda ini satu lagi mengambil masa yang lama untuk terurai. Ada yang mengatakan antara 10 hingga 500 tahun, straw pun penyedut straw plastik mengambil masa yang lama yang boleh mengganggu kehidupan di laut. Kalau COVID-19 ni, setengah bulan kita dah dapat jawapan, tetapi polistirena, plastik ni semua dia makan dalam, kalau orang Melayu sebut dia makan dalam, dia akan mengambil masa yang lama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri pada 11 Disember, kerajaan negeri PH yang lama, pada 11 Disember 2019 melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor telah melancarkan inisiatif larangan penggunaan pembungkusan bekas makanan, cawan minuman polistirena dan pemberian penyedut minuman straw plastik hanya berdasarkan permintaan pelanggan di semua premis perniagaan di negeri Johor mulai 1 Januari 2020. Yang Berhormat Tuan Speaker, tempoh 6 bulan pertama bermula 1 Januari 2020 hingga 30 Jun, adalah tempoh pendidikan. Pihak Berkuasa Tempatan bersama Ahli Majlis telah mengadakan kempen kesedaran pendidikan dengan kerjasama Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Rendah Karbon. Penguatkuasaan, penguatkuasaan Yang Berhormat Tuan Speaker bermula 1 Julai 2020 di seluruh kawasan PBT Johor.
Bermula Julai 2020 hingga Oktober 2020, tinjauan dan juga pemeriksaan telah menunjukkan pengurangan notis yang dikeluarkan daripada 42.7% hingga 0.5% kepada peniaga. Ini menunjukkan peningkatan pematuhan premis perniagaan terhadap larangan yang telah dikeluarkan dan membuktikan kesedaran tinggi di kalangan peniaga dan juga pengguna terhadap ketiga-tiga bahan ini. Sepanjang tempoh Julai hingga Oktober, sebanyak 36,044 premis telah diperiksa dan 5,601 notis dikeluarkan kepada premis-premis di kawasan PBT Johor.
Dan untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, tiada kompaun, sitaan dikenakan terhadap inisiatif ini kerana zaman pandemik COVID-19 Yang Berhormat Tuan Speaker. Premis yang diperiksa ialah merupakan premis makanan, restoran makanan segera, pasar malam, pasar awam PBT, swasta, bazar, gerai juadah food truck, pasar pagi, kafe, kantin
sekolah, kios minuman makanan dan kedai runcit, kedai serbaneka dan mini market. Kegagalan Yang Berhormat Tuan Speaker mematuhi larangan ini akan dikenakan kompaun maksimum RM1,000.00 di bawah seksyen 107 (2) Akta 171 atau boleh didakwa di mahkamah. Tindakan penguatkuasaan ini akan giat dijalankan bagi memastikan tiada penggunaan bekas makanan dan minuman polistirena dan pemberian penyedut plastik percuma. Inisiatif tambahan juga yang akan kita fikirkan oleh kerajaan, kita lihat di punca kalau boleh pengilang ataupun pekedai, penjual tidak boleh menjual bekas makanan dan minuman yang menggunakan bahan polistirena ini Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bagi beg plastik Yang Berhormat Tuan Speaker, Mesyuarat Negara Bagi Kerajaan Tempatan pada 18 November 2020, Kementerian Alam Sekitar dan Air telah membawa kertas pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma oleh PBT seluruh negara. Kertas ini memohon pertimbangan persetujuan pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma oleh PBT seluruh negara dan pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma dengan kutipan caj pencemaran minimum RM0.20. Untuk fasa pertama, premis perniagaan daripada 2019 dan 2021 seperti pasar raya, hypermarket, supermarket, restoran makanan segera dan pasar serbaneka. Bagi fasa kedua, bermula 2022 seterusnya akan diperluaskan kepada lain-lain premis perniagaan. Kempen Tanpa Beg Plastik akan mula dikuatkuasakan pada Ogos 2021 selepas sesi libat urus dan pendidikan selesai dilaksanakan dan caj RM0.20, Penang, mulai 1 Januari 2021 akan mengenakan caj RM1.00, kalau maklumat ini yang saya dapatlah untuk tujuan pelestarian alam sekitar dan untuk makluman Yang Berhormat, terbaru, Singapore, not in hurry to banned plastic bag, kata Menteri Kemampanan dan juga Alam Sekitar. Itu jawapannya Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya Skudai jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberikan. Walaupun ada juga yang belum cukup jelas dan saya harap Yang Berhormat EXCO dapat memberikan lebih maklumat bukan dengan keberkesanan program ini sebab sekarang ini saya lihat daripada jawapan daripada Yang Berhormat EXCO, penguatkuasaan ataupun pelaksanaan dasar ini hanya pada peringkat retailing, dengan izin, iaitu, restoran ataupun kedai-kedai mamak dan sebagainya. Bagaimanapun, seperti yang disebut diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, data itu penting apabila kita mengubah sesuatu dasar. Maka, adakah kerajaan telah memegang ataupun mengumpulkan data bagaimana, berapakah perkakasan polistirena dan plastik yang dihasilkan ataupun ada dalam pasaran di negeri Johor dengan membuat bandingan di, pada bahagian penghasilan perkakasan ini ataupun beg plastik dan polistirena ini. Mohon penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya bersetuju dengan cadangan dan juga pandangan dari Skudai dari segi data penggunaan, bilangan di peringkat, semua peringkat. Insya-Allah, pihak PBT akan mengambil pandangan yang baik ini Yang Berhormat Skudai. Dan kita bukan melihat setakat di premis perniagaan, di kedai runcit, di kedai makan, kita cadangkan juga di premis perniagaan yang menjual barangan ini, malah kalau boleh, kita juga ingin tahu di peringkat pengilangan, data-data ini. Saya amat berterima kasih atas cadangan ini dan insya-Allah pihak PBT dan kerajaan negeri akan melihat secara terperinci untuk memperkukuhkan apa juga data yang berkaitan dengan usaha-usaha atau inisiatif untuk menjaga kelestarian alam sekitar ini, Yang Berhormat insya-Allah.
Senai jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Nampaknya dasar-dasar ini memang oleh kerajaan kedua-dua pihaklah, dasar daripada Pakatan Harapan, dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional, kita bersama-sama menjaga kesihatan dan alam sekitar. Dasar-dasar ini supaya untuk kita apa ni, mengurangkan guna plastik sekali guna. Adakah kerajaan ada niat menjadi contoh kepada masyarakat. Nampaknya Ahli Dewan ni nampaknya bila pergi Bilik Rehat DUN, masih kita banyak lagi air botol. Kalau kerajaan ada niat nak menjadi contoh untuk masyarakat, bolehkah kerajaan negeri Johor arahkan semua agensi kerajaan dekat setiap jabatan atau pejabat tiada lagi air botol atau plastik sekali guna. Sekian terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Senai. Saya setuju, ni bukan setuju semua Yang Berhormat. Tapi, sepatutnya kerajaan memulakan. Contohnya, air botol inilah. Saya pun tadi Yang Berhormat Senai, bawa air botol, bila Yang Berhormat Senai cakap, saya angkat balik air botol tu ke bawah. (Dewan ketawa). Mana yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Nasib baik tak ada penguat kuasa Yang Berhormat.
Ya, Yang Berhormat. Mana yang baik, dasar, inisiatif yang dibuat oleh kerajaan PH yang lama, insya-Allah Yang Berhormat, kita akan laksanakan dari segi pelan kemampanan, pelan kelestarian, kita tidak mengatakan berdasarkan fahaman dan ideologi. Kita berdasarkan inisiatif yang baik, kita akan kekalkan dan kita akan usaha kekalkan dan laksanakan. Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Bukit Pasir, jemput.
Assalammualaikum Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 6.
Bantuan perumahan daripada Majlis Agama Islam Johor dilihat memakan masa untuk disalurkan kepada golongan asnaf yang layak untuk diberi bantuan. Apakah langkah kerajaan dan MAIJ bagi mempercepatkan tempoh meluluskan serta menjalankan permohonan tersebut?
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullah wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada sahabat saya daripada Bukit Pasir yang telah mengemukakan soalan bagaimanakah bantuan perumahan Majlis Agama Islam dilihat memakan masa begitu lama kepada golongan asnaf yang layak untuk diberi bantuan. Apakah langkah-langkah kerajaan bagi membaik pulih perkara-perkara ini.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Yang Berhormat Speaker, sebagai salah satu langkah proaktif Majlis Agama Islam Negeri Johor, kita akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dengan mewujudkan apa yang dipanggil akaun amanah melalui kelulusan Pejabat Perbendaharaan Negeri Johor yang dijangkakan akan bermula selewat-lewatnya pada Disember ini dan Januari 2020, insya-Allah. Akaun amanah ini dirujukkan melantik setiap Pejabat Daerah sebagai pemegang amanah kepada dana kerajaan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi pembinaan rumah bantuan MAINJ dan bantuan zakat yang lainnya.
Seterusnya proses pembinaan rumah akan juga diuruskan sepenuhnya oleh pejabat Pegawai Daerah.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan rakan saya Bukit Pasir dan Ahli Dewan sekalian, proses bagi Skim Bantuan Bina Baru Rumah akan ditambah baik melalui pelaksanaan Tabung Amanah yang mana segala pengurusannya akan dilakukan oleh Pejabat-Pejabat Daerah. Dan untuk ini saya mengucapkan terima kasih kepada semua Pejabat-Pejabat Daerah yang pun telah menghantarkan penyata-penyata akaun amanah mereka kepada pejabat Pegawai Kewangan Negeri dan selepas ini bolehlah semua urusan-urusan permohonan bagi rumah-rumah asnaf di peringkat daerah terus dimajukan kepada Pejabat Daerah.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan juga Yang Berhormat Bukit Pasir dan Ahli Dewan sekalian, bagi tahun 2020 baik pulih bagi rumah-rumah yang berkenaan adalah seperti berikut: Muar, 3 buah, bagi daerah Muar sebanyak 3 buah rumah bagi baik pulih dan bina baru sebanyak 6 buah rumah. Bagi Batu Pahat, 6 buah rumah bagi baik pulih dan 13 rumah bagi bina baru. Bagi daerah Segamat, 2 buah rumah bagi baik pulih dan 1 rumah bagi bina baru. Bagi daerah Kluang, 1 rumah bagi baik pulih dan tiada bagi bina baru. Bagi daerah Kota Tinggi, 1 rumah bina baru. Bagi daerah Mersing, 3 rumah bagi bina baru. Bagi daerah Tangkak, 4 rumah bagi bina baru, bagi daerah Kulai, 1 rumah bagi bina baru. Jumlah keseluruhan bagi baik pulih bagi negeri Johor bagi tahun 2020 setakat ini Yang Berhormat Speaker ialah sebanyak 15 buah rumah dan bagi baik pulih, bina baru sebanyak 20 buah rumah. Baik pulih, kos bagi baik pulih ialah sebanyak RM15,000.00 dan bagi bina baru sebanyak RM65,000.00. Sekian, terima kasih.
Bukit Permai.
Soalan tambahan.
Ya, Semerah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO, kalau daripada jawapan yang lepas, Yang Berhormat EXCO ada maklumkan Batu Pahat ada 10 buah rumah terbengkalai yang akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Daerah. Jadi, adakah jumlah 13 bina baru itu termasuk yang 10 buah ini?
Jemput, YB EXCO.
Dia termasuk, Yang Berhormat Speaker. Terima kasih.
Soalan, Buluh Kasap. Ya, Buluh Kasap, jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya cuma nak mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO berkenaan dengan jumlah bina baru dan baik pulih di Segamat iaitu saya difahamkan 1 buah rumah bina baru dan 2 buah baik pulih. Cuma saya ingin dapatkan penjelasan adakah bina baru dan baik pulih ini diambil untuk tempoh yang terbaru ini atau yang sebelum, sebelumnya kerana saya mendapat maklum ada beberapa rumah di kawasan Segamat yang telah dijanjikan oleh pihak Majlis Agama untuk dibina dan dibaik pulih tetapi tidak dilakukan sehingga hari ini, sudah makan masa saya ingat 3 atau 4 tahun. Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker dan juga sahabat saya daripada Buluh Kasap. Ianya memang diambil daripada permohonan-permohonan sebelum ini. Jika ada terdapat permohonan yang dikatakan sudah hampir 3 tahun, selepas ini Yang Berhormat bolehlah maklumkan terus kepada saya untuk saya ambil tindakan segera, insya-Allah.
Ya, Kota Iskandar.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan terima kasih di atas jawapan YB EXCO. Kalau ikut statistik dan kutipan zakat negeri Johor adalah di antara yang tertinggi iaitu di antara RM280 juta sehingga RM300 juta setahun dan kumpulan asnaf di Johor terdapat seramai 73,629, fakir 14,382, miskin 59,247. Persoalan saya daripada statistik bina, baik pulih dan bina semula sebanyak 20 dan 15 yang disebutkan tadi hanyalah merupakan 0.5% daripada kutipan zakat yang saya sebutkan tadi dan saya rasa bahawa setiap kawasan ataupun setiap DUN mempunyai golongan asnaf yang perlukan bantuan dan saya mencadangkan supaya peruntukan 15 baik pulih dan 20 untuk bina semula ini ditingkatkan sesuai dengan kutipan zakat di peringkat negeri Johor dan juga jumlah bilangan asnaf yang saya sebutkan tadi meliputi fakir dan juga miskin.
Apa pandangan Yang Berhormat, itu soalan dia, jemput.
Terima kasih sahabat kita, insya-Allah Yang Berhormat Tuan Speaker, salah satu langkah yang akan diambil bermula bulan Januari ini dan saya sedar ada aduan-aduan tentang kelewatan permohonan di peringkat daerah daripada pihak MAINJ. Salah satu langkah yang akan kita ambil bermula Januari ini, semua pemohon-pemohon yang dimajukan kepada pihak MAINJ hendaklah diberikan jawapan dalam tempoh 14 hingga 21 hari. Dan, kita juga, saya juga akan mendapat laporan penuh setiap bulan, setiap hari Khamis minggu pertama semua pegawai-pegawai MAINJ daerah akan melaporkan kepada saya apa juga jenis, bentuk permohonan kepada MAINJ dan cadangan daripada sahabat saya tadi akan saya ambil perhatian dan satu langkah yang baik bagi kita memenuhi pungutan zakat ini dan tentang pungutan zakat ini akan saya bacakan dalam soalan-soalan tambahan yang berikutnya, Yang Berhormat Speaker. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Johor Lama, jemput.
Assalammualaikum Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.
Mohon menurap semula permukaan jalan raya utama yang sangat teruk antara Jalan Simpang Pasak/Kampung Makam ke FELDA Air Tawar 3.
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirahmannirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, JKR ni sebuah jabatan teknikal, so jawapan dia tepat dan pendek. Jadi, ada yang bertanya kenapa pendek, memang kita tak boleh panjang-panjang, kalau ada highway tu dia short cut, semakin pendek, semakin bagus, kos dia pun rendah.
Tapi Rengit selalu jawab panjang. (Dewan ketawa).
Itu dia. Mengenai, terima kasih Johor Lama. Jalan Simpang Pasak atau Kampung Makam ke FELDA Air Tawar 3 adalah di bawah kelolaan kerajaan persekutuan. Oleh itu, JKR Johor
telah pun mengemukakan permohonan peruntukan kelulusan kepada Kementerian Kerja Raya bagi tahun depan, tahun 2021 untuk Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi FT092 sebanyak RM2.2 juta. Pecahan permohonan peruntukan sebanyak RM2.2 juta ini bagi kerja-kerja baik pulih jalan dengan kaedah regulate dan overlay adalah di kawasan di bawah yang akan saya sebutkan iaitu Simpang Rasak RM700,000.00, di hadapan kedai putu bambu RM500,000.00, tepat tu depan kedai putu bambu tu Yang Berhormat Tuan Speaker, Simpang Air Tawar 3, RM500,000.00 dan Simpang Air Tawar 1, RM500,000.00. Insya-Allah kalau peruntukan ini segera datang, segeralah kita laksanakan. Terima kasih.
Johor Lama, jemput.
Soalan tambahan saya, Yang Berhormat. Yang Berhormat Speaker, saya mohon jalan ini dapat disegerakan kerana baru-baru ini telah berlaku kemalangan yang meragut 2 nyawa penunggang motor kerana mengelak lubang-lubang yang besar dan tiada isyarat jalan yang sempurna seperti di Kampung Minchu, waktu malam gelap tak ada lampu. Sebelum saya, soalan saya seterusnya ialah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dan melalui JKR kerana telah memulakan pembinaan dan pelebaran Jambatan Bypass di Jalan Kota Tinggi Bypass 4 lorong yang berjumlah lebih kurang RM100 juta lebih. Saya ucap terima kasih banyak-banyak. Berkaitan dengan soalan ini, saya difahamkan pada 2018, telah ada satu peruntukan lebih kurang RM5 juta telah disalurkan kepada 1 konsultan untuk membuat kajian berkaitan dengan pembinaan jalan daripada Simpang Pasak sampai ke Bandar Penawar dianggarkan berjumlah RM5 juta telah diluluskan, jadi saya nak tahu apakah kesan laporan tersebut dan apakah perkembangan tentang jawapan laporan tersebut? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama atas soalan tambahan yang menyebut bahawa kerajaan telah meluluskan RM5 juta bagi konsultan mengkaji keperluan dan kebolehlaksanaan jalan ini memang telah dicadangkan oleh ICU pada masa itu untuk kita buat kajian tetapi pihak ICU atau kerajaan persekutuan mendapati kosnya agak tinggi walaupun memang jalan ini boleh memberi faedah yang agak besar kepada penduduk tempatan dan juga aktiviti-aktiviti ekonomi di PIPC, tetapi oleh kerana kos yang agak besar berbanding dengan faedahnya ia telah dikaji semula dan projek itu telah dipindahkan ke projek-projek yang disebutkan oleh Johor Lama tadi iaitu Jambatan Kota Tinggi dan directional ramp di Bandar Penawar yang telah pun ditenderkan. Bagaimanapun, yang kita akan melihat balik seperti yang saya sebutkan sebelum ini pelaksanaannya untuk projek yang pertama itu insya-Allah akan disegerakan kerana kita tidak nak jalan-jalan yang tidak sempurna akan menyebabkan kemalangan yang boleh meragut nyawa. Terima kasih.
Ya, soalan seterusnya Yang Berhormat Stulang, jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 8.
Apakah rancangan kreatif kerajaan Johor dalam memulihkan sektor pelancongan di Johor?
Sri Medan, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 9.
Pelancongan merupakan salah satu penyumbang ekonomi di negeri Johor. Apakah perancangan kerajaan negeri yang boleh membantu agensi-agensi pelancongan untuk bertahan dalam situasi genting pandemik COVID-19 pada masa ini?
Johor Jaya, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 10.
Nyatakan rancangan pihak kerajaan Johor untuk membantu sektor pelancongan seperti mewujudkan peluang pekerjaan bagi pemandu pelancong dan industri pelancongan yang hilang pekerjaan dan pendapatan.
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Stulang, Sri Medan dan Johor Jaya atas soalan. Yang Berhormat Speaker, izinkan saya menjawab soalan-soalan secara bersekali. Kita semua sedia maklum bahawa sektor pelancongan adalah antara sektor yang paling terkesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 dengan penutupan sempadan Johor – Singapura sehingga kini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga 31 Mac. Kadar purata penginapan ataupun average occupancy rate di Johor menurun dari 57.3% pada tahun 2019 kepada 27.6% pada bulan Ogos tahun ini. 13 hotel telah ditutup, pemandu-pemandu pelancong hilang punca pendapatan, penurunan jumlah pelawat di taman-taman tema dan juga pusat membeli belah.
Yang Berhormat Speaker, kerajaan negeri sedar tentang betapa pentingnya pembukaan sempadan Johor – Singapura terutamanya untuk sektor pelancongan. Sebab itu Yang Amat Berhormat Menteri Besar membawa perkara ini ke Putrajaya hampir setiap minggu bukan sahaja dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi juga ke National Academic Action Council (NAAC). Atas keunikan negeri Johor, negeri Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang diberi ruang untuk membentangkan status ekonominya ke NAAC ini. Namun begitu, kita semua sedia maklum bahawa untuk agenda pembukaan sempadan Johor – Singapura ini berjaya, ia memerlukan 2 resipi utama :
1. Kerjasama semua pihak. Perlu ada persefahaman dan persetujuan antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan semestinya kerajaan Singapura itu sendiri.
2. Faktor kesihatan dan keselamatan. Bermakna angka COVID-19 perlu rendah di kedua-dua negara.
Yang Berhormat Speaker, sebab itu kerajaan negeri pada mulanya teruja dengan pengumuman travel bubble antara Hong Kong dan Singapura. Dengan harapan kita boleh replicate proses ini di Johor dan Singapura. Namun, manusia hanya boleh merancang. Pada 21 November sehari sebelum pelaksanaannya, Kerajaan Singapura mengumumkan pembatalan travel bubble tersebut. (Bacaan ayat al-Quran). “Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang.”
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di Johor sebagai permulaan kita bersyukur kerana sekatan sempadan kini telah dilonggarkan kepada Reciprocal Green Lane (RGL) dan Periodic Commuting Agreement (PCA) bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Percaya dan yakinlah demi kelangsungan ekonomi dan sektor pelancongan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan terus berusaha untuk merungkai dan menyelesaikan isu pembukaan sempadan ini.
Yang Berhormat Speaker, kerajaan negeri memahami tekanan yang dirasai oleh penggiat industri pelancongan. Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor 2020 telah diumumkan oleh kerajaan negeri pada bulan Mei untuk membantu penggiat industri pelancongan.
Antara inisiatif adalah pemberian insentif one-off, RM1,000.00 kepada pemandu-pemandu pelancongan, pengecualian pembayaran lesen kepada syarikat berkaitan pelancongan dan hotel-hotel, pengecualian duti hiburan bagi taman-taman tema dan pusat hiburan. Selain pemberian 3 insentif tersebut, terdapat juga beberapa insentif yang telah dirancang tetapi tidak dapat dilaksanakan.
1. Pemberian insentif galakan pelancong kepada syarikat agensi pelancongan sebanyak RM20.00 kepada setiap pelancong asing.
2. Pemberian insentif galakan pelancong kepada agensi-agensi pelancongan sebanyak RM10.00.
Kedua-dua inisiatif ini tidak dapat dilaksanakan pada masa itu kerana penutupan sempadan dan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Namun begitu, kerajaan negeri tidak pernah berputus asa untuk mencari pendekatan-pendekatan lain untuk membantu penggiat industri pelancongan. Domestic tourism diberikan penekanan untuk mengimarahkan sektor pelancongan negeri Johor.
Tourism Johor dengan kerjasama MOTAC, Tourism Malaysia Wilayah Selatan (TMWS) serta penglibatan penggiat-penggiat industri pelancongan yang lain telah menjalankan inisiatif-inisiatif berikut bagi membantu sektor pelancongan tahun ini :
1. Sesi libat urus bersama penggiat industri.
2. Penubuhan Johor Tourist Safety Standard. Sebanyak 103 buah hotel telah menyertai bengkel kesedaran JTSS dengan 58 buah hotel darinya di sekitar Johor Bahru sudah diaudit.
3. Membaik pulih kemudahan asas dan infrastruktur pelancongan di daerah-daerah.
4. Up-skilling course bagi pemandu pelancong negeri Johor. Kursus ini telah melibatkan 560 pemandu pelancong.
5. Program Majestic Johor. Mengatur siri program berkonsepkan travelog yang mengetengahkan produk-produk pelancongan di Johor melalui celebrity dan influencers.
6. Penubuhan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC). Tujuannya adalah untuk meneroka bersama potensi pelancongan di kawasan Iskandar Puteri dengan kerjasama pemegang-pemegang taruh UEM Sunrise, Iskandar Investment Berhad, IRDA, Sunway, Legoland dan sebagainya.
7. Penubuhan Jawatankuasa Johor Medical Committee (JMTC). Tujuannya adalah untuk memperhebatkan lagi promosi dan potensi medical tourism di Johor yang kini berada pada tangga ke-6 di negara ini.
8. Iskandar Malaysia Employment Grant melalui IRDA. 10 hotel di Johor telah dibantu melalui inisiatif ini yang melibatkan RM413,000.00.
Yang Berhormat Speaker, pada tahun hadapan pula seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Negeri bagi memacu dan merancakkan semula sektor pelancongan pasca COVID-19, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti berikut :
1. Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014 – 2023 akan diteliti semula. Ini bagi memastikan hala tuju sektor pelancongan dapat dirancang dengan lebih tersusun dan mengikut tren semasa. Sebagai contoh, perancangan Tourism Johor di dalam Johor Economic Tourism and Cultural Office (JETCO) akan dimasukkan di dalam Pelan Induk Pelancongan.
2. Johor Tourism Interchange (JTI) dengan peruntukan RM500,000.00 ini akan dibangunkan bagi mentransformasi ekonomi digital pelancongan.
3. Baucar pelancongan berjumlah RM1.5 juta untuk merancakkan segmen penginapan, shopping dan retail.
Seterusnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan negeri Johor.
Yang Berhormat Speaker, saya juga amat bersyukur apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengumumkan untuk meneruskan bantuan kepada penggiat industri pelancongan yang akan menerima insentif-insentif berikut :
1. Pemberian insentif RM1,000.00 kepada pemandu-pemandu pelancong.
2. Insentif one-off kepada 16 persatuan pelancongan negeri dan daerah.
3. Insentif one-off RM2,000.00 kepada 586 buah syarikat agensi pelancongan.
4. Pengecualian pembayaran duti hiburan.
5. Pengecualian pembayaran lesen perniagaan.
6. Kepada pemandu teksi limousine lapangan terbang yang menjadi duta-duta kecil negeri Johor mendapat wang tunai one-off sebanyak RM500.00.
Sama-sama kita doakan semoga segala usaha ini akan membuahkan hasil dan kembali merancakkan sektor industri pelancongan Johor. Sekian.
Ya Sri Medan jemput.
Yang Berhormat Speaker. Terima kasih kepada jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO Pelancongan.
Soalan tambahan saya, saya melihat bahawa industri pelancongan pada tahun ini dan mungkin pada masa hadapan, kita pun tak tahu sama ada COVID-19 ini akan tamat pada bila masa. Jadi tadi Yang Berhormat EXCO ada menyebut tentang pelancongan domestik. Ada beberapa tempat yang mungkin dicadangkan oleh Yang Berhormat EXCO melalui kerajaan negeri yang akan dinaik taraf atau dibaik pulih. Adakah Yang Berhormat EXCO ada data tentang perincian kerja bagi membaik pulih kemudahan dan juga infrastruktur pelancongan dalam negeri Johor. Apa yang saya harapkan Yang Berhormat Speaker, mana tahu kawasan saya ada termasuk dalam senarai itu, kawasan Parit Sulong. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker, dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Sri Medan, infrastruktur adalah amat penting dan dengan dalam keadaan ini juga kerajaan negeri memberi tumpuan kepada produk-produk sedia ada. Dan dari segi maklumat yang saya ada setakat ini, untuk tahun ini, kerja-kerja yang dijalankan untuk menaik taraf infrastruktur pertamanya ialah kerja-kerja membaiki gelongsor air terjun di Kota Tinggi yang rosak akibat banjir. Pemasangan LED Board di Muar. Membekal dan memasang papan tanda billboard, mengecat kompleks pelawat pembangunan arca di Taman Negara Endau Rompin. Seterusnya di Mersing, kerja-kerja melukis mural di belakang Jalan Sulaiman, Bandar Mersing Fasa Ke-2, membekal dan memasang info board di Mersing Harbour Centre, membekal bangku rehat serta arca stickman di kawasan Majlis Daerah Mersing, membekal set peralatan permainan dewasa dan meja di kawasan Taman Mesra OKU di Daerah Mersing. Di Taman Negara, Gunung Ledang pula fasiliti seperti billboard, landskap dan dataran dinaiktarafkan. Di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dibuat dan dicahayakan di kawasan tersebut. Di Kampung Sungai Melayu, membina pentas untuk sesi bergambar ataupun photo booth swa selfie, membaik pentas sedia ada, mereka bentuk dan melukis mural di dinding dewan. Setakat itu aje Yang Berhormat.
Sri Medan tak ada. Jemput seterusnya Penggaram.
Terima kasih Tuan Speaker. Saya di sini nak tanya EXCO, ada apakah pandangan EXCO Pelancongan terhadap pandangan YB Mahkota mengatakan bahawa dengan selaras hari cuti adalah satu galakan untuk pelancongan domestik, selaras hari cuti minggu.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan.
Bagi saya semua cadangan-cadangan ini saya anggap sebagai satu cadangan yang baik dan membina. Tetapi seperti Yang Berhormat sedia maklum perkara dasar seperti ini perlu mengambil masa dari segi perancangan, dari segi untuk diperhalusi lebih mendalam lagi Yang Berhormat. Terima kasih.
Ya Mengkibol jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Dalam jawapan EXCO Pelancongan tadi ada disebutkan travel bubble dibatalkan satu hari sebelum pelaksanaan.
Soalan tambahan saya, dalam minggu lepas Mengkibol bersama Stulang, Perling isu kan satu statement mencadangkan pengecualian 14 hari kuarantin bagi mereka yang masuk dari Singapura. Ini disebabkan oleh risk profile yang kita nampak pada negara, dan kita memberikan pengecualian. Contohnya, pelawat dari Singapura travel ke United Kingdom tidak diperlukan kuarantin. Ini disebabkan risk profile negara Singapura yang rendah. Jadi soalan saya, bolehkah kerajaan Johor minta kepada kerajaan pusat supaya pengecualian kuarantin 14 hari ini dengan syarat :
1. Ada PCR test dan IGM Antibody Test; 2. Antigen Rapid Test di CIQ Johor Bahru; 3. Mereka yang ada simptom tidak dibenarkan masuk; 4. Mesti guna MySejahtera untuk tujuan tracking.
Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker, saya akan cuba menjawab soalan ini kerana saya rasa ini lebih berkaitan dengan Yang Berhormat EXCO Kesihatan. Tetapi maklumat yang saya ada yang tahu ialah saya tahu di peringkat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, segala usaha sedang dan terus dibuat untuk melaksanakan travel bubble ini, means untuk apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat tadi memang ada cadangan-cadangan di peringkat kerajaan negeri untuk melaksanakan travel bubble. Contohnya di Iskandar Puteri ini, as a pilot program, jadi kita tak buka seluruh negeri. Kita start dulu dengan Iskandar Puteri sebagai pilot programnya. Tetapi seperti yang saya sebut tadi, ada syarat-syarat ketat bukan sahaja di peringkat negeri ataupun negara tetapi di peringkat kerajaan Singapura itu sendiri. Jadi benda ini adalah langkah-langkah berterusan yang perlu dibuat oleh kerajaan negeri dan baru things will starting to get better, tiba-tiba ada PPKB, so ini antara cabaran-cabaran yang terpaksa kita hadapi secara bersama. Tapi insya-Allah cadangan Yang Berhormat kita akan angkat ke peringkat yang lebih tinggi, terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Endau jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 11.
Adakah pihak Jabatan Pendidikan mempunyai cadangan untuk membina sebuah stadium olahraga bertrek untuk kemudahan sukan olahraga bagi daerah Mersing?
Jemput, YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker dan rakan Yang Berhormat. Pada masa ini keperluan utama dan kritikal di Jabatan Pendidikan Negeri Johor semasa mengemukakan cadangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah pembinaan sekolah-sekolah baharu bagi, terdapat sekolah yang padat, naik taraf atau menyelenggara sekolah sedia ada untuk memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat dan selesa.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor berpandangan pada masa kini tiada keperluan mendesak untuk membina trek olahraga sintetik kerana daerah Mersing mempunyai sebuah stadium mini yang diuruskan oleh Majlis Daerah Mersing. Walau bagaimanapun, JPNJ, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan mengenal pasti tapak dan padang sekolah yang sesuai bagi pembinaan trek dan balapan sebelum permohonan cadangan projek dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Yang Ke-12 tertakluk kepada kelulusan agensi pusat dan kedudukan kewangan semasa negara. Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di negeri Johor. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan saya nombor 12.
Penglibatan wanita dalam menyumbangkan peningkatan ekonomi keluarga tidak dapat disangkal. 45% daripada wanita di negeri Johor adalah wanita muda dan aktif. Apakah bentuk program dan bantuan yang diberikan oleh YPKDT kepada mereka terutamanya dalam keadaan Pandemik COVID-19 ini ?
Yang Berhormat Machap jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker soalan nombor 13.
Nyatakan usaha yang telah dilakukan oleh Yayasan Pembangunan Wanita dan Keluarga Darul Ta’zim terhadap ibu tunggal bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam makmur Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Penawar dan Yang Berhormat Machap. Yang Berhormat Tuan Speaker, izinkan saya menjawab soalan-soalan secara bersekali.
Yang Berhormat Tuan Speaker, YPKDT telah melaksanakan pelbagai program dan bantuan bagi golongan sasar terutamanya golongan ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah, wanita OKU dan sebagainya. Program-program yang dilaksanakan tertumpu kepada pembangunan ekonomi kerana pada ketika ini saya percaya semua golongan terkesan akibat pandemik COVID-19. Golongan wanita tidak terkecuali untuk membantu ketua keluarga untuk meningkatkan pendapatan, malah kita tahu wanita-wanita yang menjadi ketua isi rumah juga memerlukan sokongan untuk menjana pendapatan bagi menampung keperluan kehidupan harian.
Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, antara program yang dilaksanakan ialah seperti berikut :
1. Skim Bantuan Peralatan Perniagaan yang diberikan kepada golongan sasar terutamanya bagi wanita yang meningkatkan, yang ingin meningkatkan pendapatan dan mengembangkan lagi perniagaan home based business yang sedia ada. Bagi tahun 2020, seramai 120 golongan sasar telah menerima manfaat. Permohonan akan menerima mesin atau peralatan perniagaan berdasarkan kepada keperluan perniagaan mereka dan pemberian ini diberikan setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penilai oleh Ibu Pejabat YPKDT. Antara peralatan perniagaan diberikan kepada pemohon adalah seperti mixer, oven, chiller, mesin jahit dan yang lain-lain. YPDKT juga sentiasa memantau penerima-penerima supaya peralatan diberikan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.
Macam semalam dah jawab Yang Berhormat yang ini, mengulangi yang semalam. Semalam dah jawab kan?
Tapi sebahagian....setelah perniagaan mereka berkembang maju dan hasil pendapatan meningkat, YPKDT juga akan memberi nasihat kepada penerima untuk membuat permohonan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendaftarkan perniagaan mereka untuk membolehkan mereka mendapatkan lagi pelbagai jenis bantuan lain pada agensi-agensi usahawan yang sedia ada.
Kedua, Program WINGS di mana kita memberi kemahiran untuk menjana pendapatan wanita dan meningkatkan kemahiran wanita pelbagai bidang selain daripada masakan dan
juga kita memberi kursus-kursus pemasaran, pembungkusan, reka bentuk produk, asas perakaunan, pengusaha kewangan dan sebagainya. Bagi tahun 2020, seramai 100 orang usahawan wanita berpotensi telah menerima manfaat.
Seterusnya, melalui konsep komuniti yang mana melibatkan wanita berstatus ibu tunggal dan B40, YPKDT telah melaksanakan Program Pembangunan Ekonomi Rakyat yang dikenali sebagai PROPER. Projek ini berkonsepkan pertanian iaitu penanaman cili fertigasi yang melibatkan 10 daerah di negeri Johor. Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada agensi-agensi kerajaan serta penduduk setempat. Alhamdulillah, kebanyakan daerah telah menerima hasil tuaian daripada projek ini dan secara keseluruhannya hasil tuaian adalah berjumlah RM26,979.70. Hasil tuaian ini akan dibahagikan mengikut kepada persetujuan antara komuniti yang terlibat di samping mendapat pandangan dan nasihat daripada Pejabat YPKDT di setiap daerah.
Selain daripada itu, kerajaan persekutuan melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor telah menyalurkan bantuan secara one-off kepada wanita-wanita yang berstatus ibu tunggal. Bantuan khas ibu tunggal (BKIT) merupakan satu bentuk bantuan wang tunai bernilai RM300.00 kepada ibu tunggal yang layak dan bantuan ini telah ditutup pada 31 Oktober 2020. Untuk negeri Johor, seramai 5,795 orang wanita yang telah menerima bantuan ini. Dan insya-Allah jumlah ini akan bertambah apabila senarai nama untuk fasa 6 diluluskan di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Selain daripada itu Yang Berhormat Tuan Speaker, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor juga melaksanakan program-program untuk wanita di negeri Johor antaranya ialah Program Pusat Aktiviti Cakna Bangun Ekonomi yang mana ini adalah kursus untuk wanita meningkatkan kemahiran. Selain daripada itu, Program Klinik Distress yang telah diadakan sebanyak tiga kali dengan penglibatan 75 peserta wanita iaitu program yang membantu mengawal stres dalam kalangan wanita.
Ketiga, Program Seminar Wanita Anti Jenayah : Kesempatan Dalam Kesempitan yang melibatkan 150 orang peserta. Terima kasih.
Penawar jemput.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat sahabat saya, EXCO Wanita. Soalan saya, selain daripada program yang berkonsepkan kepada pembangunan ekonomi, adakah YPKDT melaksanakan program lain yang memfokuskan kepada wanita muda di Johor bagi menjadikan mereka bukan sahaja hidup selesa, tetapi ikon yang sangat maju hingga ke taraf jutawan. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Untuk tahun 2020, memandangkan kita sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, YPKDT telah membuat penjajaran semula bajet 2020 bagi memastikan rakyat yang terjejas dengan pendapatan menerima pelbagai manfaat daripada pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, tahun hadapan YPKDT akan melaksanakan satu program yang khusus bagi wanita muda berkonsepkan kepada sukan iaitu Program Fit And Fabulous 2021 atau FIFA. Ini bagi memupuk kesedaran dan kepentingan bersukan kepada wanita-wanita muda di negeri Johor. Pada masa yang sama, kita mengharapkan COVID-19 cepat berakhir dan seterusnya kita dapat mempelbagaikan lagi bentuk dan konsep program. Terima kasih.
Ya Machap jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Tadi Yang Berhormat EXCO ada menyebut mengenai projek PROPER yang mana saya turut melawat projek PROPER tersebut di mana ada beberapa bilangan ibu tunggal yang mengusahakan tanaman fertigasi, tanam lada untuk dijual hasilnya untuk menambah pendapatan kepada mereka. Dalam inisiatif Belanjawan 2021 yang dibentangkan, saya tidak melihat sama ada projek PROPER ini akan diteruskan ataupun tidak. Jadi, saya minta ulasan daripada YB EXCO tentang projek ini. Sebab saya melihat implikasinya atau impaknya sangat besar kepada peningkatan pendapatan ibu tunggal. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Machap. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, walaupun Yang Amat Berhormat Menteri Besar tidak menyebut mengenai pelaksanaan program PROPER tetapi insya-Allah program yang baik ini kita akan teruskan di bawah YPKDT dan akan memperluaskan konsep tanaman pertanian iaitu melibatkan tanaman seperti terung, cili besar Kulai, bendi dan cili sentil. Program ini mensasarkan penglibatan daripada wanita dan juga anak muda. Terima kasih.
Soalan tambahan, Parit Yaani jemput.
Boleh?
Boleh.
Terima kasih YB Speaker. Berkaitan dengan dua isu ini, satu anak muda, wanita muda, satu ibu tunggal. Jadi dua-dua ini merupakan wanita yang kita rasa kita pun ada anak-anak muda, wanita dan kita juga mungkin ada keluarga yang ibu tunggal. Saya nak bertanya dua perkara.
Yang pertama, adakah dalam makluman Yayasan Pembangunan Wanita dan Keluarga ini persatuan-persatuan wanita apa, persatuan-persatuan ibu tunggal kerana di tempat saya sendiri, di Parit Yaani, persatuan ini aktif dengan membuat beberapa program tetapi dari segi pemasaran yang kita merasakan bahawa pertama modal, dia kekurangan, yang kedua pemasaran. Apakah yang perlu dibantu dan bagaimana Yayasan Pembangunan Wanita dan Keluarga Darul Ta’zim boleh membantu program yang dibuat oleh persatuan-persatuan ibu tunggal yang ada di negeri kita. Pertama soalan saya tadi, ada berapa banyak persatuan ibu tunggal dalam negeri Johor dan apakah cara untuk kita membantu kalau mereka ada buat program-program yang berkaitan? Sekian, terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, untuk persatuan ibu tunggal, kami masih dalam mengumpulkan seperti mana, mengumpulkan data database untuk persatuan-persatuan bukan sahaja ibu tunggal dan juga setakat ini kita hanya telah pun memperolehi jumlah ibu tunggal dalam negeri Johor setakat ini. Dan untuk makluman, mereka-mereka ini di bawah persatuan-persatuan ini haruslah berdaftar ataupun menghubungi Pejabat YPKDT di setiap daerah untuk kami melihat program-program ataupun usaha-usaha yang mereka lakukan. Terima kasih.
Soalan seterusnya Yang Berhormat Bentayan jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 14.
Apakah kursus yang ditawarkan dan kelayakan permohonan untuk Program Johor Up-skilling & Re-skilling 2020?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bentayan yang telah mengemukakan pertanyaan ini dan untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, program kemahiran khususnya untuk mereka yang terkesan sama ada up-skilling, re-skilling atau multi skilling adalah penting bagi golongan ini untuk meningkatkan kemahiran yang sedia ada atau mempelajari kemahiran lain bagi menceburi dunia pekerjaan baharu.
Program kemahiran seumpama ini sangat membantu dan memberi nilai tambah kepada diri mereka. Inilah perkara yang sedang hangat diperkatakan, disebut bagaimana kerajaan mengolah dan mengusahakan untuk membuat program-program seperti ini agar ianya supaya berjaya. Tapi kita juga harus sedar bila kita sentuh about up-skilling, re-skilling, kita, tujuan kita untuk re-skill mereka-mereka ini yang hilang pekerjaan bertujuan untuk mendapatkan mereka pekerjaan. Di mana kita nak letak mereka? Jadi kita memerlukan pemain-pemain industri yang mana kita sedia maklum pemain-pemain industri pun dalam keadaan yang tertekan dalam ke arah exercising dia punya downsizing workers, retrenchment, dengan izin. Jadi, mereka banyak ke arah untuk menguncupkan dia punya kos operasi, untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Jadi, usaha kerajaan, pertama langkah yang kita lakukan, kita menerusi agensi-agensi seperti Unit SMI, Jabatan Tenaga Kerja, PERKESO, kita menggandakan usaha kita, merancang dan melaksana berbagai program mahu pun inisiatif dalam memastikan rakyat negeri ini tidak hilang pekerjaan dan menganggur kembali ke alam pekerjaan dari itu kerajaan negeri terus aktif menjalinkan kerjasama dengan GLC-GLC mahupun agensi-agensi swasta bagi usaha sama pintar. Apa yang kita lakukan langkah pertama, kita kena bentuk satu jawatankuasa teknikal, Jawatankuasa Teknikal Modal Insan, yang khususnya jawatankuasa induk ni diperkasakan bagi melihat permintaan dengan penawaran iaitu demand dan supply, yang terdiri dari agensi-agensi yang berkaitan khususnya pemain-pemain industri utama di negeri ini seperti FMM, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.
Jawatankuasa kecil ini juga berperanan dan mengenal pasti dan mengumpul maklumat apa sektor-sektor yang ada demand dan apa sektor-sektor yang boleh kita match kan, kita boleh padankan dan sebelum kita imbangkan dia dengan program-program up-skilling dan re-skilling kita, sebab apa kita mahukan bila kita dah re-skill, up-skill mereka-mereka ini juga tempat peluang pekerjaan, penawaran pekerjaan itu ada menanti. Ini yang kita tengah dan selalu terus mengusahakan untuk mengenal pasti industri-industri player yang ada ketahanan ada kekuatan untuk mengambil mereka dan masih menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka. Dan, apa yang saya maksudkan dengan multi skilling, multi skilling juga satu pelan perancangan kerajaan, kita tidak semata-matanya untuk up-skill, re-skill dan dapatkan mereka kerja. Kita cuba tambahkan satu layer lagi multi skilling, mungkin multi skilling ini kita berhasrat untuk mendidik mereka, belajar menjadi apprentice dan seterusnya untuk membuka, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Di sinilah peranan agensi kerajaan akan membantu mereka, memberikan suntikan modal kepada mereka untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Dan, alhamdulillah kita pun dapat kerjasama yang baik dari Pihak Berkuasa Tempatan untuk memberi ruang perniagaan kepada mereka untuk memulakan perniagaan yang baru.
Menjawab kepada soalan Yang Berhormat Bentayan, kursus-kursus yang telah kita sediakan adalah sebanyak 16 kursus dalam program up-skilling, re-skilling ini iaitu kursus pembantu kesihatan, kursus operator crane, kursus Internet Of Thing, electrical instrumentation, penyelia keselamatan tapak bina, kimpalan, penyelenggaraan penyamanan udara, pemasangan dan penyelenggaraan elektrik, pemasangan pelancar tahap asas, operasi pelabuhan, operasi logistik, perniagaan runcitan, pengurusan operasi bangunan, koordinator landskap pembinaan, gas pipe filter, sistem industri bangunan IBS dan ia melibatkan setakat ini kita ada menerima 494 pelatih. Antara mereka, dia punya duration, jangka masa setiap individu, setiap kursus yang diambil itu ada yang tempoh sebulan, ada yang tempoh 2 minggu ada yang minimum 10 hari. Dan, ia amat memberangsangkan dan kita telah berjaya membawa mereka ke program Job Carnival, Job Matching dan mereka telah mendapat pekerjaan dan hampir 3,000 dapat mengisi peluang pekerjaan. Saya rasa itu jawapan saya. Terima kasih.
Ya, Bentayan.
Terima kasih YB Tuan Speaker, atas jawapan yang diberi oleh YB EXCO. Jadi, setakat ini agak berapa peratus peserta program atau kursus ini telah berjaya mendapat pekerjaan yang baru dan sama ada kan program ini dapat menolong mereka untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sekian, terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Sudah tentu program ini memberi kesan dan impak dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang telah kita latih dan beberapa jawatan kosong telah diisi dan dia adalah program yang kita lakukan dan berterusan dalam masa tahun ini. Setakat ini di fasa pertama kita dapat mengisikan sebanyak 1,000 pekerjaan kosong dan seterusnya yang baru, fasa kedua 3,957 jawatan kekosongan yang telah diterima. Dan, kami dapat menerima sambutan baik dan juga yang tadi saya sebut berkenaan multi skilling itu, kita pun juga kita telah menerima permohonan dari setiap daerah yang berminat untuk mengikut serta kursus ini dan dia adalah telah dimasukkan dalam bajet permohonan kita tahun depan untuk kita selaraskan dan insya-Allah dia akan dapat memberi manfaat kepada semua. Terima kasih.
Yang Berhormat Paloh, jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 15.
Bagaimanakah kerajaan Johor mengambil proaktif dalam memastikan pencegahan tekanan mental dan emosi rakyat semasa pandemik COVID-19? Rakyat bergelut dengan isu kesempitan ekonomi, pekerjaan, akses pendidikan dan seterusnya memberi kesan juga kepada keluarga dan mental.
Jemput, YB EXCO, 4 minit Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, memang tidak dapat dinafikan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi kesan psikologi bagi seluruh masyarakat dunia. Di Jabatan Kesihatan Negeri Johor Pasukan MHPSS iaitu Mental Health and Psychosocial Support daripada setiap fasiliti kesihatan termasuk hospital dan Pejabat Kesihatan telah diaktifkan seawal bulan Februari 2020. Akan tetapi perkhidmatan ini dimulakan khas untuk menangani isu kesihatan mental dan ketidakstabilan emosi di kalangan kakitangan kesihatan yang secara langsung terlibat dengan pengurusan kes-kes positif dan contact COVID-19 sama ada di wad ataupun di
lapangan dan kemudian ianya diperluaskan kepada pesakit yang positif, mereka yang disyaki dan akhirnya kepada semua penghuni di stesen kuarantin sama ada individu tersebut menelefon bilik gerakan MHPSS atau sebaliknya petugas akan menghubungi individu jika keputusan saringan kesihatan mental mereka abnormal. Disebabkan kaedah bersemuka tidak digalakkan dalam situasi ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menyediakan talian tele-kaunseling kepada seluruh masyarakat Johor pada bulan April 2020 hingga bulan Julai 2020.
Khidmat ini dibuka untuk tempoh yang pendek sahaja iaitu antara 16 April 2020 hingga 30 Jun 2020. Talian ini adalah talian tambahan kepada khidmat tele-kaunseling yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan disokong oleh NGO-NGO yang berkaitan. Talian ini adalah talian alternatif kepada talian psiko-sosial yang disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai agensi kerajaan serta NGO yang saya nyatakan tadi.
Tele-kaunseling dijalankan melalui panggilan telefon mengikut tujuan dan soalan-soalan yang berbangkit semasa perbualan. Ia dijalankan oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Akan tetapi bilangan yang menghubungi talian Jabatan Kesihatan Negeri Johor ini amatlah sedikit iaitu hanya 32 panggilan sahaja dan walaupun perkhidmatan ini telah pun diwar-warkan di sosial media, FB, di telegram, Program Bual Bicara Johor serta juga kenyataan-kenyataan media. Disebabkan pemanggil kepada talian ini amat sedikit pihak Mental Health and Psychosocial Support daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah membuat inisiatif dengan membuat panggilan kepada client yang mendapat score abnormal setelah menjawab soalan dipanggil DASS iaitu soalan berkaitan Depression, Anxiety And Stress Score secara sukarela. Seramai 1,445 client iaitu pesakit, contact dan penghuni stesen kuarantin telah menjawab DASS ini secara online di mana 118 didapati abnormal. Perkhidmatan tele-kaunseling ini telah diberikan kepada semua 118 client.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebaik sahaja PKPP dimulakan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengambil inisiatif baru untuk mengukur status kesihatan mental iaitu minda sihat masyarakat negeri Johor dengan menyediakan QR DASS ini iaitu online dengan satu bentuk saringan kesihatan mental secara atas talian menggunakan borang soal selidik depression anxiety stress score ini di mana setiap individu berumur 16 tahun ke atas boleh membuatnya sendiri iaitu pemeriksaan saringan DASS kendiri secara sukarela dan mereka akan mendapat keputusan serta merta dan usaha ini juga telah pun diwar-warkan di sosial media dan sebagainya. Ujian saringan minda DASS ini mengandungi 21 soalan iaitu saringan untuk mengenal pasti sama ada individu itu mempunyai tanda-tanda depresi iaitu stress, anxiety dengan izin dan juga tekanan. Selepas selesai menjawab soalan, score keputusan, score saringan akan diberi iaitu usually dalam bentuk normal, ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bilangan orang awam yang menggunakan QR DASS pada bulan Ogos 2020 ialah seramai 287 orang, 287,204 orang yang telah membuat saringan kesihatan mental. Kajian saringan minda sihat ini dijalankan secara atas talian di mana seperti saya katakan tadi QR Code, soal selidik berikut dikongsikan kepada petugas kesihatan di wad-wad dan juga di pusat-pusat kuarantin. Setiap individu tidak kira apa keputusannya akan diberi pautan kepada telegram iaitu Telegram Minda Sihat Johor yang merupakan akses kepada pelbagai info berkaitan kesihatan mental, teknik-teknik intervensi yang boleh dilaksanakan secara kendiri serta pelbagai talian psiko sosial yang boleh dihubungi untuk mendapat sokongan emosi jadi dalam pautan telegram itu ada banyak pautan dan juga informasi-informasi yang boleh dihubungi oleh mereka yang memerlukan bantuan. Bagi mereka yang mempunyai score yang tinggi iaitu teruk dan sangat teruk mereka telah diberikan pautan untuk mendapatkan temu janji pula atas talian di mana-mana klinik kesihatan di negeri Johor bagi membuat penilaian lanjut masalah kesihatan mental mereka.
Jadi, bagi mereka yang normal, tidak ada masalah walaupun mereka akan diberikan juga kepada pautan telegram tetapi bagi mereka yang masih memerlukan intervensi kesihatan mereka akan dirujuk kepada klinik kesihatan. Pada bulan Ogos 2020, bilangan client yang hadir ke klinik kesihatan untuk menilai masalah kesihatan mental meningkat secara mendadak dari jumlah 32 dan 46 client pada bulan Jun dan Julai kepada 678 client pada bulan Ogos 2020. Pada bulan Ogos 2020 ia meningkat kepada jumlah 678 ialah kerana promosi soal selidik minda sihat atas talian yang dilancarkan pada 9 Ogos 2020 telah memberi akses kepada masyarakat awam untuk membuat saringan secara kendiri.
Banyak lagi Yang Berhormat?
Sikit lagi Yang Berhormat.
Ringkaskan.
Yang Berhormat Speaker, saya ingin menyatakan juga di sini bahawa sekiranya keputusan mereka itu abnormal individu ini digalakkan membuat penilaian lanjut di Klinik kesihatan negeri Johor dan mereka juga akan diberi link temu janji agar temujanji boleh dibuat dengan mudah dan tindakan susulan oleh Jabatan Kesihatan dan Pakar-pakar Psychiatric akan dilaksanakan akan diberi kepada mereka untuk menilai dengan lebih lanjut apakah cara-cara untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Terima kasih.
Saya kira, saya tamatkan setakat itu, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Kita tangguh sehingga 11.25 pagi. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi
Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi
Penolong Jurutulis : SAMBUNGAN PERBAHASAN ATAS RUNDINGAN BACAAN KALI YANG KEDUA BAGI RANG UNDANG-UNDANG ENAKMEN PERBEKALAN (2021) TAHUN 2020.
Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Kedua Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dimulakan, disambung semula. Jemput, dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Selamat pagi salam sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian bagi perbahasan Belanjawan 2021 dalam Dewan yang mulia ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah membentangkan Belanjawan 2021 yang bertemakan Berdaya Tahan Demi Kemakmuran. Satu belanjawan yang dinanti-nantikan oleh rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar bagi seluruh rakyat. Penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia telah mengakibatkan kehidupan manusia terjejas dari segi pekerjaan, kehidupan harian, kesihatan dan kekeluargaan. Cabaran yang kita hadapi bukan sahaja apa yang kita hadapi sekarang, yang lebih penting cabaran pada masa hadapan. Bagaimanakah kita perlu membangun semula ekonomi pada tahun yang akan datang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang amat terjejas akibat wabak COVID-19. Sektor pelancongan merupakan satu sektor yang penting dalam membantu ekonomi tempatan ini. Ini disebabkan sektor ini, bukan sahaja menarik pelancong ke tempat pelancongan tetapi ia turut membawa peluang pekerjaan dan peluang business kepada penduduk tempatan sama ada restoran, pengangkutan dan sebagainya. Johor Bahru turut mengalami kemerosotan yang tinggi sebab penutupan sempadan Singapura dan Malaysia.
Dalam Belanjawan 2021 terdapat pelbagai inisiatif untuk membantu sektor pelancongan seperti memberi bantuan one-off kepada syarikat agensi pelancongan. Persatuan Pelancongan dan Pemandu Pelancong yang berdaftar di negeri Johor. Ini merupakan satu bantuan yang memang baik untuk menghulurkan tangan apabila mereka menghadapi ketegangan ekonomi. Namun, Johor Jaya berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu mengambil tindakan lanjut dan fikir bagaimana kita dapat bangun semula atau restart sektor ini selepas wabak COVID-19. Ramai di antara mereka yang sudah tutup business kerana kesukaran dan kemerosotan sektor pelancongan. Adakah sektor pelancongan bersedia kembali semula selepas wabak. Untuk menukarkan persepsi rakyat dalam pelancongan domestik atau antarabangsa, kita perlu lihat dan menambah baik dari kedua-dua segi iaitu dari segi soft skill dengan izinnya dan infrastruktur.
Pada zaman digital dan sosial media ini, segala keputusan rakyat untuk memilih sebuah destinasi pelancong, boleh dipengaruhi melalui sosial media. Dengan ini, saya mengambil kesempatan untuk memuji pihak Tourism Johor dengan usaha penambah baik yang saya lihat dalam sosial media. Ini adalah hasil yang baik dan usaha kita yang menekankan kepentingan promosi di platform sosial media selama ini. Namun, pada masa yang sama, kita bukan sahaja perlu lihat dari segi soft skill seperti promosi sahaja. Kita perlu lihat kepada kekurangan iinfrastructure yang sedia ada atau masalah yang dihadapi tetapi tidak selesai selama ini. Inilah masanya untuk menambah baik supaya kita bersedia untuk menerima pelancong pada masa akan datang. Cadangan Johor Jaya untuk menambah baik sektor pelancongan merangkumi soft skill dan infrastructure seperti berikut:
1. Travel Bubble antara Malaysia dan Singapore perlu dimulakan perbincangan dan juga perlu diaktifkan serta-merta apabila keadaan kedua-dua negara ini bertambah stable dan bertambah baik supaya ekonomi di Johor Bahru dapat dipulihkan dengan serta-merta dan segera dengan syarat-syarat yang tertentu bagi travel bubble ini.
2. Kita memang lihat ramai pemandu pelancong, agensi pelancongan atau mereka yang bergantung pada sektor pelancongan telah kehilangan pendapatan semasa ini. Sebagai contoh, pemandu pelancong iaitu tour guide mereka terpaksa membuat jualan online, ada pilot yang juga jual burger di jalan dan sebagainya. Selain memberi bantuan secara one-off ini juga masa untuk memberi kursus lanjutan kepada mereka untuk mengukuhkan lagi ilmu pengetahuan mereka. Negeri Johor mempunyai 10 daerah dan setiap daerah mempunyai daya tarikan yang unik masing-masing. Saya perhatikan bukannya semua pemandu pelancong yang betul-betul faham tentang sejarah atau keunikan di setiap daerah itu. Trend pelancongan sudah ubah. Pelancong bukan sahaja melancong di theme park yang besar tetapi lebih kepada sejarah dan cerita yang unik di setiap tempat. Johor memang berpotensi untuk menarik mata mereka sekiranya kita siap sedia kita sendiri. Johor Jaya cadang untuk melatih in house tour guide iaitu pemandu pelancong yang fokus bagi setiap daerah supaya mereka dapat lebih kenal dengan tempat masing-masing mempromosikan setiap daerah masing-masing. Kursus atau latihan disediakan oleh pihak kerajaan ini bukan kepada semua pemandu pelancong yang sedia ada atau yang mereka berminat secara percuma. Inilah masa bagi mereka untuk meningkatkan ilmu pengetahuan diri.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
3. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan bantuan one-off kepada 16 persatuan pelancong. Terdapat banyak persatuan pelancongan dalam negeri Johor dan saya percaya 16 persatuan ini merupakan persatuan yang terpilih merangkumi semua sektor pelancongan sebagai contoh, Persatuan Pemandu Pelancong, Persatuan Inbound Tourism, Persatuan Outbound Tourism, Golf Tourism dan sebagainya. Johor Jaya berpendapat bahawa selain bantuan one-off pihak kerajaan harus memberi matching grant kepada industri pelancongan yang dapat memberi inisiatif atau idea baharu kepada pelancongan negeri Johor. Dengan inovasi baharu tidak kira secara online atau promosi atau package pelancongan yang baharu, barulah kita dapat majukan sektor ini dan kembali sekali lagi dengan imej pelancongan yang baharu.
4. Membaiki dan menambah baik infrastruktur yang sedia ada. Sebagai contoh, salah satu masalah besar yang kita hadapi dalam sektor pelancongan selama ini, adalah masalah infrastruktur di kastam link kedua. Infrastruktur Kompleks Sultan Abu Bakar tidak dapat menampung aliran trafik terutamanya bagi pelancong yang masuk melalui link kedua. Cadangan untuk menggabungkan dua bangunan supaya ruang menjadi lebih besar demi menampung lebih ramai pelancong, membaiki bumbung tertutup supaya pelancong tidak ditimpa hujan apabila turun dan naik bas. Menambah bilangan tandas dan lain-lain. Semua cadangan ini telah dikaji beberapa kali dan inilah masanya untuk mengambil tindakan kerana waktu inilah dengan penutupan sempadan Malaysia dan Singapore, tidak ada aliran trafik yang tinggi, tidak akan mengganggu sesiapa pun sekiranya kerja-kerja naik taraf dijalankan. Cadangan membaiki infrastruktur ini akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan dan menambah baik infra yang kurang memuaskan selama ini. Johor Jaya berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan dengan segera dan membantu sektor pelancongan siap sedia apabila kita kembali menerima pelancong dengan satu imej yang baharu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, wanita merupakan tulang belakang bagi sesebuah keluarga. Pada zaman ini, wanita bukan sahaja perlu menjaga anak, menyusu anak tetapi juga perlu bekerja. Menurut Dasar Penyusuan Ibu Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggalakkan ibu supaya menyusu susu ibu kepada anak dan terus berada di dunia pekerjaan. Untuk mencapai matlamat penyusuan susu ibu kepada anak, seorang ibu perlu ada sokongan secara mental dan fizikal daripada ahli keluarga dan juga tempat kerja. Ibu menyusu perlu ada sokongan secara mental dari ahli keluarga atau rakan sekerja. Kita perlu bertimbang rasa atas masa yang diperlukan semasa mereka mengepam susu sewaktu kerja. Selain itu, ibu menyusu perlu ada sokongan fizikal iaitu satu tempat yang selesa, private dan bersih. Oleh sebab kekurangan sokongan fizikal, terdapat ramai ibu yang menyusu terpaksa mengepam susu di tandas, surau dalam kereta, di bawah meja, di dalam bilik stor dan sebagainya. Ketidakselesaan atau kesukaran ini telah mengakibatkan mereka berputus asa supaya terus menyusu susu ibu.
Program Mama Friendly telah dilancarkan melalui YPKDT sebagai satu program perintis untuk menunjukkan sokongan kepada ibu bekerja supaya terus menyusu anak. Saya mendapati program ini mendapat sambutan baik dari agensi, jabatan dan sekolah. Pada tahun lepas, ramai Ahli Parlimen di negeri Johor telah pun memberi peruntukan mereka kepada sekolah dalam kawasan mereka. Supaya dapat menyediakan bilik mama friendly di sekolah. Saya nak tanya Yang Berhormat Tuan Speaker, apakah status terkini dan rancangan seterusnya bagi Program Mama Friendly yang memanfaatkan wanita dan ibu menyusu yang sedang bekerja? Saya berharap program ini dapat diteruskan supaya ia selaras dengan idea menggalakkan wanita terus berkhidmat di dunia kerja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu kekeluargaan khususnya keganasan rumah tangga atau wanita semakin meningkat dalam tempoh PKP, PKPP dan PKPB. Saya faham bahawa isu masyarakat sosial atau kekeluargaan memang berlaku selama ini. Namun, tidak boleh dinafikan bahawa oleh sebab wabak COVID-19, ramai yang hilang kerja, ramai yang duduk rumah sebab PKP dan mereka menghadapi tekanan ekonomi atau tekanan keluarga dan perselisihan faham antara satu sama lain turut meningkat. Sebagai contoh, dalam kawasan saya, saya hadapi keluarga yang suami isteri gaduh atau isteri dipukul sehingga lari dari rumah, ada juga anak umur 10 tahun dihalau keluar rumah sebab ibu tunggal mempunyai masalah mental dan yang paling teruk lagi ada yang bunuh diri sebab pergaduhan antara suami isteri.
Kalau mengikut peruntukan Belanjawan 2020, terdapat peruntukan sebanyak RM300,000.00 diberikan untuk Skim Bantuan Guaman Wanita Negeri. Skim ini adalah untuk membantu golongan wanita kurang bernasib baik dalam mendapatkan pembelaan di Mahkamah bagi kes-kes perundangan dalam rumah tangga khususnya mereka yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga. Sebagai sebuah kerajaan, kita tidak boleh hanya memberi bantuan makanan sahaja. Berapa banyak bantuan bakul makanan yang boleh kerajaan bagi. Kesemua kes ini mereka perlu bantu segera dari pihak kerajaan. Dengan ini, Johor Jaya ingin bertanya sejauh manakah pihak kerajaan melaksanakan Skim Bantuan Guaman Wanita hotline atau bantuan kaunseling kepada mereka yang menghadapi masalah kekeluargaan? Selain itu, pihak kerajaan perlu menubuhkan sebuah rumah shelter atau rumah transit sementara supaya mereka yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga atau keganasan wanita dapat dibantu dengan segera.
Yang Berhormat Tuan Speaker, adalah berita baik bagi masyarakat Cina bahawa pihak kerajaan telah meningkatkan peruntukan masyarakat Cina pada tahun 2021 iaitu RM6 juta. Namun, saluran peruntukan tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan bagi Johor Jaya. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, peruntukan masyarakat Cina bagi tahun 2018, 2019 dan 2020 adalah RM35 juta masing-masing termasuk kebajikan dan pendidikan. Dengan ini, sejak tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah memberi peruntukan pendidikan kepada masyarakat Cina termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah menengah persendirian. Antara 9 buah sekolah menengah persendirian yang berada di negeri Johor iaitu setiap sekolah menengah persendirian mendapat peruntukan RM50,000.00 pada tahun 2018 dan RM60,000.00 pada tahun 2019 masing-masing.
Menurut jawapan soalan bertulis yang saya terima pada bulan September, peruntukan masyarakat Cina bagi tahun 2020 telah pun disalurkan kepada Yayasan Sultanah Fatimah. Kalau mengikut rancangan, setiap sekolah menengah persendirian akan mendapat peruntukan sebanyak RM60,000.00 dari pihak kerajaan negeri pada tahun ini. Walau bagaimanapun, setakat hari ini saya dimaklumkan bahawa sekolah menengah persendirian di negeri Johor masih tidak dapat terima sebarang peruntukan daripada pihak kerajaan negeri. Ini adalah peruntukan kerajaan di mana mereka sangat memerlukan peruntukan ini kerana sebab wabak mereka tidak mendapat dana yang lain. Saya nak tanya, bilakah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Persatuan Masyarakat Cina dapat disampaikan kepada pihak yang memerlukan?Johor Jaya khuatir dengan cara saluran dan juga kegunaan peruntukan ini. Bagaimana kita dapat mengenal pasti peruntukan ini dapat disalurkan dengan telus, adil dan saksama. Yang Berhormat Tuan Speaker, Johor Jaya ingin bangkitkan beberapa isu kawasan. Kawasan Johor Jaya khususnya kawasan Jalan Dedap selama ini menghadapi masalah kesesakan lalu lintas. Dan, baru-baru ini pihak PBT telah mengambil inisiatif untuk melukis semula garisan petak parkir di Jalan Dedap khususnya di Jalan Dedap 7 dan Jalan Dedap 13. Namun petak parkir yang baru dilukis ini telah mengakibatkan kekurangan petak parkir berbanding dengan sebelum ini. Sebagai contoh, sebelum lukisan petak parkir yang baru, setiap barisan tempat parkir mempunyai lebih kurang 28 petak. Selepas lukisan yang baru, ia menjadi hanya 16 petak. Kekurangan 12 dalam setiap barisan ini dan akhirnya menjadi seluruh kawasan itu telah kekurangan
lebih kurang 100 tempat parkir. Ini menyukarkan lagi pemandu kenderaan untuk meletak kereta dan mereka terpaksa double park, dengan izinnya dan turut sesak jalan. Saya faham bahawa lukisan baru ini mungkin mengikut garis panduan yang baru. namun jalan tersebut merupakan satu jalan yang agak luas. Pandangan saya cara melukis perlu bijak supaya ia tidak terlalu senget sehingga bazir tempat itu. Oleh itu, saya meminta pihak PBT supaya kaji semula semua lukisan petak parkir di sana.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Johor Jaya ingin bangkitkan isu Lebuh raya Pasir Gudang. Seperti mana yang kita ketahui, lebuh raya Pasir Gudang merupakan salah satu jalan utama dan penting di Johor Bahru. Oleh sebab PKP, PKPP, PKPB, kenderaan di jalan raya memang kurang dan isu kesesakan lalu lintas pun kurang juga. Namun keadaan jalan yang berlubang-lubang tidak nampak bertambah baik. Baru-baru ini, bulan ini sahaja terdapat dua orang penunggang motosikal yang ingin mengelak lubang di atas Lebuh raya Pasir Gudang dan akhirnya salah seorang meninggal dan seorang lagi cedera parah. Kemalangan maut ini sekali lagi mengingatkan kita keadaan jalan yang berlubang-lubang ini. selain itu, masalah lampu jalan yang tidak bernyala di beberapa simpang Lebuh raya Pasir Gudang dan sepanjang Jalan Tebrau ke Kota Tinggi pun tidak selesai lagi. Saya pun sedih nak kata. Berapa lama saya berada di Dewan yang mulia ini, berapa kalilah saya perlu bangkitkan isu lebuh raya Pasir Gudang. Saya meminta pihak kerajaan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan mungkin setiap tiga bulan atau lebih baik setiap bulan supaya tidak ada nyawa yang hilang sebab masalah lubang jalan atau lampu jalan. Kalau katanya jalan ini mempunyai trafik yang tinggi, menyusahkan kerja-kerja. Masa inilah masa paling baik sebab tidak ada banyak kenderaan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. Saya memohon pihak JKR supaya mengambil perhatian, mengambil berat terhadap keselamatan pengguna jalan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya akhiri ucapan saya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua anggota barisan hadapan, front liner yang bekerja sepanjang penularan pandemik COVID-19. Sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat, kita perlulah jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berhemah. Sama-sama kita menjaga keselamatan dan kemakmuran rakyat dan negara. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada Johor Jaya. Seterusnya Tangkak.
Selamat sejahtera, salam harapan. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Tangkak untuk menyertai dalam Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020. Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor sempena sambutan ulang tahun keputeraan pada 22 November 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan Johor 2021 ini diharap dapat membantu negeri kita dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang sedang menyerang negeri Johor dan Malaysia dan tiada sesiapa yang mampu meramal hingga bilakah krisis penyakit ini akan sampai penghujungnya. Oleh itu Tangkak berpendapat bahawa cadangan-cadangan kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada pelbagai lapisan masyarakat adalah sangat digalakkan. Walaupun pemberian geran dan wang tunai ini bukan satu penyelesaian untuk jangka masa panjang tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu kumpulan sasar dalam menyelesaikan masalah kehidupan ketika penularan COVID-19 ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sejak penularan COVID-19 di Johor bermula pada awal tahun ini sehingga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada pertengahan bulan Mac, boleh kata semua sektor ekonomi dan perkhidmatan telah terjejas dan tergendala. Namun sektor pertanian adalah salah satu aktiviti ekonomi yang dapat memulih dengan laju
berbanding dengan sektor-sektor yang lain. Tangkak mengalu-alukan cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk mengusahakan agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor sebagai satu strategi pemulihan ekonomi Johor. Johor merupakan penyumbang kedua tertinggi di sektor pertanian dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) peringkat nasional. Menurut statistik Kementerian Pertanian, Johor merupakan pengeluar tertinggi tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan di Malaysia. Sejumlah 567,300 metrik tan pengeluaran buah-buahan dan 249,486 metrik tan bunga-bungaan pada tahun 2018. Pengeluaran sayur-sayuran dan tanaman ladang serta tanaman kontan di negeri Johor, juga berada di tangga kedua dengan pengeluaran 198,460 metrik tan sayur-sayuran dan 43,420 metrik tan tanaman kontan. Pengeluaran hasil tanaman ini bukan sahaja mengekalkan sumbangan negeri Johor kepada KDNK Nasional. Ia juga telah menjana pendapatan kepada masyarakat dan komuniti di negeri Johor. Mengikut rekod Johor mempunyai kira-kira 59,700 orang petani. Keluasan tanah pertanian yang diusahakan adalah sebanyak 51.1% keluasan tanah di Johor seperti mana dari jawapan dari Yang Berhormat EXCO Pertanian pada pagi tadi. Statistik ini menunjukkan negeri kita sangat sesuai untuk aktiviti-aktiviti pertanian dan terdapat ramai petani yang sedang mengusaha dalam industri pertanian ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021 telah mengumumkan suntikan dana lebih kurang RM50 juta di bawah agenda Johor Tani untuk pelbagai program sektor pertanian seperti pembangunan komoditi berpotensi, peningkatan hasil padi, hasil ternakan dan sebagainya. Namun bagi petani yang sedia ada dan rakyat yang ingin menceburi dalam bidang pertanian, kekurangan tanah adalah penghalang kepada mereka. Semakin hari, semakin banyak tanah-tanah pertanian telah diubah syarat kepada kegunaan pembinaan kediaman kerana projek pembangunan perumahan akan membawa pulangan yang lebih cepat kepada pemilik tanah berbanding dengan kegunaan pertanian. Selain itu, terdapat sebahagian besar tanah-tanah pertanian yang sedia ada merupakan tanah-tanah lesen pendudukan sementara, LPS dan tanah-tanah pajakan kerajaan terutama tanah tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontan. Tangkak ingin mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya boleh memudahkan lagi proses pembaharui LPS bagi pemegang tanah yang betul-betul mengguna tanah tersebut dalam tanaman makanan. Bagi pemegang tanah pajakan kerajaan, mereka menghadapi tekanan yang sangat tinggi ketika tempoh pajakan tanah mereka hampir luput kerana mengikut kiraan sekarang mereka perlu membayar sejumlah wang yang sangat tinggi untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah supaya dapat meneruskan mata pencarian mereka. Oleh itu, Tangkak berharap kerajaan dapat menimbang untuk mengutip caj minima supaya pembekal tanah tersebut dapat meringankan beban. Selepas mereka dapat melanjutkan tempoh pajakan tanah, malah mereka akan lebih berkeyakinan untuk membuat rancangan tanaman jangka masa panjang dan mereka juga boleh memohon pinjaman bank bagi melabur dalam teknologi pertanian bagi menambah hasil tanaman.
Yang Berhormat Tuan Speaker, laporan Kementerian Pertanian turut menunjuk bahawa terdapat 4,561 keping tanah terbiar yang berkeluasan 1,097 hektar di Johor setakat tahun 2019. Jumlah ini masih tidak mengambil kira tanah-tanah rizab kerajaan dan agensi-agensi kerajaan di seluruh negeri. Tanah-tanah terbiar pegangan kerajaan dan agensi kerajaan ini, kebanyakan adalah untuk, adalah tanah rizab kerajaan bertujuan menggunakan tanah untuk projek-projek tertentu dalam jangka masa panjang.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Pertanian, pada sesi soal jawab pagi tadi, juga bersetuju bahawa tanah-tanah kerajaan yang tiada rancangan pembangunan dalam 5 atau 10 tahun yang akan datang boleh diusahakan untuk tanaman agro makanan. Tangkak meminta kerajaan Johor menyatakan keluasan tanah rizab kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang tidak ada rancangan pembangunan dalam 5 tahun yang akan datang. Tangkak telah saban tahun mencadang untuk menyewakan tanah milikan kerajaan yang
masih tiada rancangan pembangunan kepada rakyat Johor yang berminat dalam bidang pertanian makanan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada pembentangan Belanjawan Johor Tahun 2020, kerajaan Pakatan Harapan Johor telah memperkenalkan Gagasan Revolusi Hijau bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian. Meningkatkan prasarana pertanian. Menggalakkan penggunaan teknologi hijau. Menggalakkan aktiviti-aktiviti pertanian berskala besar dan mewujudkan kawasan khas sub sektor pertanian. RM14.6 juta juga telah diperuntukkan ketika itu melalui projek pembangunan tanah terbiar, pembangunan kolam ternakan terbiar dan pembangunan tanaman rumput makanan ternakan di kawasan terbiar. Sejauh manakah keberkesanan projek-projek tanah terbiar ini setakat ini dan apakah langkah susulan yang akan diambil oleh kerajaan bagi lebih ramai rakyat dimanfaatkan daripada Gagasan Revolusi Hijau ini. Kalau kerajaan Johor dapat memperkemaskan agenda Johor Tani dengan bukan sahaja membantu dari segi program-program pembangunan, peningkatan hasil dan latihan keusahawanan tetapi juga menyediakan tanah yang sesuai untuk disewa kepada petani, pekebun dan penternak. Tangkak percaya, Johor akan menerima impak yang lebih tinggi dalam sektor pemacu utama ekonomi Johor ini. Tangkak tidak menafikan terdapat segelintir individu yang menyewa tanah kerajaan, tujuan untuk tanaman makanan telah melanggar perjanjian kerana telah menanam tanaman komoditi seperti kelapa sawit. Tapi apabila kita lihat lebih mendalam tentang perlanggaran syarat kegunaan tanah ini, kenapa petani sanggup pecah amanah atas kegunaan tanah pertanian? Adakah kerana ketidakstabilan harga tanaman agro makanan? Walaupun risiko bidang pertanian lebih rendah berbanding dengan perniagaan lain, tetapi harga hasil tanaman terlalu bergantung kepada penawaran dan permintaan pasaran. Cuaca dan perubahan iklim juga selalu menjejas kestabilan harga hasil pertanian. Oleh itu, lebih banyak dana perlu disediakan oleh kerajaan untuk menstabilkan harga hasil tanaman. Mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian melalui pusat pengumpulan hasil pertanian adalah tidak mencukupi. Campur tangan kerajaan dalam harga pasaran tanaman makanan adalah salah satu cara untuk menstabilkan pendapatan para petani. Contohnya, kerajaan melalui agensi-agensi kerajaan untuk membeli hasil tanaman makanan dengan satu harga tetap yang munasabah. Pembelian hasil tanaman makanan ini, tidak perlu ada sebarang sekatan dari segi kuantiti, seperti mana yang diamalkan dalam program kontrak pertanian iaitu apabila harga pasaran tinggi daripada harga tetap kerajaan, petani boleh pilih untuk menjual hasil tanaman mereka ke pasaran bebas. Namun, ketika harga pasaran bebas rendah daripada harga tetap kerajaan petani boleh menjual hasil mereka kepada kerajaan supaya pendapatan mereka akan lebih stabil.
Seterusnya, ke mana hasil-hasil tanaman yang telah dibeli oleh kerajaan digunakan? Kerajaan boleh berkolaborasi dengan agens-agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dapur-dapur agensi kerajaan seperti di hospital, penjara, kantin-kantin sekolah, rumah orang-orang tua dan rumah anak-anak yatim. Selain itu, kerajaan juga boleh membantu usahawan tani dalam industri pemprosesan atau pengolahan makanan ringan, makanan tin, makanan organik, minuman herba dan kosmetik dengan hasil tanaman seperti buah-buahan dan tanaman kontan yang dibeli daripada petani.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Johor 2021, telah menyebut seluas 110 ekar tanah di daerah Tangkak akan dibangun sebagai Taman Perindustrian Bukit Gambir. Pada tahun 2018, kerajaan Johor melalui Johor Corporation telah mengenal pasti satu kawasan untuk pembangunan taman perindustrian ini. Tetapi hingga kini kami masih belum mengetahui di kawasan manakah tapak pembangunan itu terletak? Dan jabatan atau agensi mana yang dipertugaskan dalam proses ini? Tangkak minta jawapan dari kerajaan negeri Johor, dan apa kesannya terhadap kawasan perindustrian bandar Tangkak yang masih kurang mendapat sambutan selepas pembangunan Taman Perindustrian Bukit Gambir akan dibangunkan?
Yang Berhormat Speaker, infrastruktur pertanian seperti pembinaan dan penyelenggaraan jalan pertanian, perparitan, penyediaan bekalan elektrik dan air juga sangat penting kepada pengusaha pertanian bagi meningkatkan produktiviti. Bacaan hujan yang semakin meningkat juga selalu mengakibatkan banjir di kawasan pertanian. Tambahan lagi perparitan dalam kawasan kebun selalunya akan cepat tumbuh semula rumput-rumput selepas kerja-kerja pembersihan parit disebabkan penggunaan baja. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga selalu menghadapi masalah kekurangan peruntukan untuk mengkerapkan lagi kerja-kerja pembersihan dan mendalamkan parit. Harap dengan peningkatan peruntukan penyelenggaraan parit dan saliran kepada RM40 juta dapat membawa kesannya. Tangkak memohon Jabatan Pertanian dan JPS untuk mengkaji apakah pendekatan yang boleh dilakukan bagi mengatasi isu parit kawasan kebun cepat sumbat ini?
Yang Berhormat Speaker, di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) salah satu cadangan adalah menjadikan kesalinghubungan Internet sebagai utiliti yang akan masuk dalam Kebenaran Merancang (KM) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Memandangkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menzahirkan sokongan kerajaan Johor dalam inisiatif ini, dalam ucapan pembentangan Belanjawan Johor 2021. Adakah PBT-PBT di negeri Johor akan mengambil langkah cepat untuk merealisasikan inisiatif ini? Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sehingga hari ini masih terdapat banyak kawasan perumahan yang kecil menghadapi masalah ketiadaan perkhidmatan komunikasi telefon, talian tetap dan jalur lebar. Walaupun penduduk-penduduk telah banyak kali membuat permohonan kepada syarikat perkhidmatan telekomunikasi talian tetap. Mereka masih tidak dapat menikmati kemudahan telekomunikasi kerana syarikat pembekal perkhidmatan menetapkan syarat bahawa perlu ada jumlah pemohon minimum sebelum infrastruktur Telekom di pasang. Jadi, pemohon terpaksa untuk menunggu masa yang sangat panjang untuk mendapatkan perkhidmatan telefon talian tetap dan jalur lebar. Apakah penyelesaian yang boleh di ambil oleh pihak berkenaan dengan masalah ini?
Yang Berhormat Speaker, Johor mempunyai paip bekalan air sepanjang 22,175 km. Merujuk kepada jawapan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, pada bulan September lalu sejumlah RM935 juta telah disediakan untuk projek penggantian paip dari tahun 2018 hingga tahun 2022 bagi tujuan mengganti 843.86 km paip air di seluruh negeri Johor. Untuk kawasan yang masih menggunakan paip lama jenis asbestos cement, paip AC, pengguna selalu mengalami masalah gangguan bekalan air kerana masalah paip pecah dan bocor selalu berulang. Ranhil SAJ juga akan menurunkan tekanan air supaya paip-paip lama ini tidak mudah pecah. Tapi, tindakan sebegini telah mengakibatkan kawasan tersebut menerima air bertekanan rendah. Oleh itu, semakin ramai penduduk memasang peralatan mengepam air di rumah mereka bagi mengatasi masalah tekanan air rendah ini. Cara ini telah memburukkan lagi keadaan kepada pengguna yang tidak memasang pam air, atau kawasan penghujung sistem paip air. Tangkak ingin meminta penjelasan secara terperinci dari pihak kerajaan dan Ranhil SAJ berkenaan dengan kecapaian terkini bagi projek penggantian paip ini dan apakah kawalan yang boleh diambil terhadap pengguna peralatan mengepam air, yang menjejaskan pengguna lain?
Yang Berhormat Speaker, kerajaan Pakatan Harapan Johor telah menawarkan Skim Takaful Warga Emas Johor kepada warga-warga emas dan kemudahan Kad Sihat Johor kepada keluarga-keluarga dan individu golongan B40 sejak tahun 2019. Dalam Belanjawan Johor tahun 2020 kerajaan ketika itu telah memperuntukkan RM1.68 juta untuk Skim Takaful Warga Emas Johor dan RM2 juta untuk kemudahan Kad Sihat Johor. Malah, kedua-dua program untuk mensejahterakan rakyat ini tidak lagi muncul dalam Belanjawan Johor 2021. Tangkak setuju dengan Yang Berhormat Penggaram bahawa kemudahan Kad Sihat Johor bukan sahaja boleh memberi peluang kepada penerima untuk menerima rawatan penyakit-penyakit di klinik-klinik panel swasta, tetapi juga dapat mengelak kesesakan di klinik-klinik
kesihatan dan klinik-klinik desa kerajaan terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 ini. Tangkak juga menyokong permintaan daripada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, dalam meminta pengesahan dari pihak kerajaan sama ada kedua-dua inisiatif yang baik yang dilakukan oleh Pakatan Harapan sebelum ini telah diberhentikan atau masih diteruskan. Sekiranya diberhentikan Tangkak mohon penjelasan daripada pihak kerajaan apakah sebab dan apakah alternatifnya supaya kebajikan kesihatan rakyat dapat terus dibela.
Yang Berhormat Speaker, setelah penamatan perkhidmatan ketua-ketua masyarakat lantikan kerajaan Pakatan Harapan pada 31 Mac lalu selama 9 bulan sejak itu, rakyat terutama di kawasan luar bandar tidak mempunyai ketua masyarakat untuk urusan seharian. Nasib baik bekas ketua-ketua masyarakat lantikan zaman Pakatan Harapan ini semua berjiwa besar dan bertanggungjawab, kerana telah memberi perkhidmatan mereka walaupun lantikan dan elaun mereka telah diberhentikan oleh kerajaan sekarang. Mereka berkhidmat secara sukarela demi membantu rakyat. Apakah sebab yang mengakibatkan kekosongan jawatan ketua masyarakat masih tidak dapat diisi sehingga sekarang?
Yang Berhormat Speaker, Tangkak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah menghormati sistem demokrasi dengan mengiktirafkan kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor dan telah memberi penambahan peruntukan Wakil Rakyat pembangkang sehingga RM150,000.00, penambahan peruntukan ini akan meringankan beban kami sebagai wakil rakyat dalam pengurusan Pusat Khidmat Wakil Rakyat. Beberapa rakan saya dari Pakatan Harapan juga telah memohon pertimbangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk membenarkan kami menghadiri mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD). Tujuan kami menghadiri mesyuarat JKTD adalah berdasarkan dengan niat yang baik dan ikhlas. Kami bersedia untuk membantu dalam membincang, memantau dan memastikan semua projek dan program yang dijalankan di peringkat daerah supaya kumpulan sasar mendapat faedah maksimum. Kalau rakan-rakan di sebelah sana masih tidak bersetuju dengan kehadiran kami dalam mesyuarat JKTD mungkin sebab perbezaan ideologi politik. Tangkak bercadang Yang Amat Berhormat Menteri Besar sekurang-kurangnya membenar wakil rakyat Pakatan Harapan untuk menghantar soalan dan cadangan kami secara bertulis ke mesyuarat JKTD setiap bulan dan dijawab selepas mesyuarat JKTD berlangsung.
Akhir kata, kami dari Pakatan Harapan yang berada di dalam Dewan yang mulia ini juga adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat. Cadangan dan teguran kami adalah untuk memainkan peranan semak imbang, demi memastikan dasar-dasar diusahakan sebaik mungkin oleh kerajaan.
Yang Berhormat Speaker, sekian perbahasan Tangkak bagi rundingan bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Tangkak. Seterusnya dipersilakan Parit Raja.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja mengucapkan terima kasih kerana sekali lagi Parit Raja berpeluang mengambil bahagian dalam sesi ucapan perbahasan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-3 Dewan Negeri Johor yang ke-14 kali ini. Terlebih dahulu patik dan seluruh warga Parit Raja ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020
bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah. Patik dan seluruh warga Parit Raja mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh keluarga Di Raja akan terus diberkati, dirahmati dalam menaungi negeri Johor dengan makmur, sejahtera dan harmoni.
Parit Raja mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Haji Hasni bin Mohammad, Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor untuk tahun 2021 di saat dan ketika negara kita sedang berhadapan dengan pandemik yang bahaya. Sesungguhnya tugas kerajaan negeri mengurus keadaan ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berat. Dalam berhadapan dengan pelbagai situasi baru, yang memerlukan kaedah penyelesaian yang baru. Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan memberi fokus kepada 12 agenda kebajikan, keberdayaan dan keberhasilan utama diharap dapat terus memacu ekonomi negeri Johor dan terus berdaya tahan. Dengan 3 objektif utama iaitu menjamin ketahanan dan kelangsungan ekonomi, memperkasa dan memberdaya tahan kebajikan rakyat dan menjamin kesejahteraan, kemakmuran global. Parit Raja mendoakan, pentadbiran kerajaan negeri Johor serta segala perancangan yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Johor terus dikurniakan ilham dan kebijaksanaan serta sentiasa dipermudahkan akan segala urusan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, ada beberapa perkara yang Parit Raja ingin bangkitkan pada persidangan kali ini. Bagi kesejahteraan masyarakat DUN Parit Raja terus terjamin dan perlu mendapat perhatian dari pihak kerajaan dengan sewajarnya.
Yang pertama, baik pulih struktur kawasan bangunan yang mengalami kerosakan di Sekolah Kebangsaan Parit Raja yang semakin lama keadaan semakin membimbangkan. Kelewatan projek baik pulih pasti akan bertambah dari segi kos untuk menampung perbelanjaan yang tersebut. Oleh yang demikian, demi keselamatan warga sekolah, Parit Raja mohon agar dapat disegerakan permohonan bagi tujuan baik pulih tersebut.
Yang kedua, naik taraf Klinik Kesihatan Parit Raja. Klinik Kesihatan Parit Raja, Batu Pahat yang terletak di Kawasan Parit Raja Mukim 8, bersebelahan dengan Balai Polis Parit Raja menerima purata kedatangan pesakit ke Klinik Kesihatan Parit Raja mencecah angka 6,500 pesakit setiap bulan. Dengan kepadatan penduduk yang ramai dan dijangka semakin meningkat saban tahun serta wujudnya taman-taman perumahan baru kemampuan memberikan kelengkapan kemudahan terbaik adalah agak terbatas. Mengikut statistik daerah Batu Pahat, populasi pekan Parit Raja adalah ke-2 teramai setelah Bandar Batu Pahat dan kehadiran client pesakit juga berada di tangga ke-2 setelah Klinik kesihatan Batu Pahat. Berdasarkan senario semasa, kemampuan warga klinik untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik adalah agak terbatas. Malahan terpaksa memasang khemah tambahan untuk dijadikan sebagai tempat pesakit menunggu giliran. Adalah diharapkan pembinaan klinik baharu yang serba lengkap berserta kuarters dapat disegerakan demi kesejahteraan rakyat.
Ketiga, keselamatan menjadi keutamaan rakyat. Parit Raja mohon agar pihak kerajaan untuk meneliti semula keperluan menaik taraf kemudahan infrastruktur Balai Polis Parit Raja. Dengan kepadatan penduduk yang pada ketika ini dianggarkan lebih 50,000 orang iaitu populasi yang menjadi tangga ke-2 teramai di daerah Batu Pahat. Sudah sampai keperluan kepada pembinaan Balai Polis baru dengan kemudahan yang serba lengkap serta pertambahan anggota yang bersesuaian dengan kemudahan yang terbaik oleh pihak kerajaan. Ia seiring dengan kemudahan yang terdapat di kawasan Parit Raja demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan penduduk di kawasan Parit Raja. Parit Raja berharap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan barisan hadapan ataupun front liners dengan izin, yang terbaik buat rakyat.
Yang keempat, Parit Raja menjadi tumpuan dan daya tarikan para peniaga untuk datang berniaga. Pekan Parit Raja yang awalnya menempatkan usahawan kecil dan sederhana
terutama sekali dalam bidang pembuatan kerepek dengan terbinanya institusi pengajian tinggi dan pusat perindustrian di pekan kecil ini. Ia memberi sinar baharu kepada pekan Parit Raja untuk terus membangun dengan lebih pesat untuk menjadi salah sebuah pekan bandar terpenting dalam daerah Batu Pahat khasnya menyumbang kepada penjanaan ekonomi.
Oleh yang demikian, Parit Raja menyambut baik dengan segala usaha kerajaan dan pengumuman oleh YAB Menteri Besar Johor dalam Agenda Johor Niaga iaitu akan menyediakan ruang dan peluang berniaga yang bersesuaian kepada peniaga kecil dan pengusaha food truck.
Selain itu, pasar awam Parit Raja juga perlu di baik pulih dan distrukturkan semula agar dapat memberi manfaat dan mewujudkan peluang pekerjaan. Parit Raja amat berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak ruang niaga kerana Parit Raja dulunya kampung tradisi kini bertukar wajah menjadi pekan bandar.
Seterusnya, tambahan lagi kerajaan negeri melalui Majlis Halal Negeri Johor akan memperkasakan peranannya di dalam merangka strategi untuk menjadikan negeri Johor sebagai Hab Halal Global iaitu antara inisiatifnya:
1. Majlis Agama Islam Negeri Johor akan meningkatkan kapasiti Johor Toyyiban Laboratories sebagai pusat analisis dan penyelidikan komersial yang diiktiraf peringkat dunia.
2. Bagi menyokong pengusaha perusahaan kecil dan sederhana kerajaan negeri akan bekerjasama dengan PIJ Holdings bagi menyediakan geran pembiayaan sebanyak RM500,000.00 bagi mendapatkan bimbingan permohonan sijil halal.
Oleh yang demikian, Parit Raja berharap bagi menyokong dan menggalakkan usaha ini adalah amat diharapkan agar agensi yang berkaitan dapat mencari pengusaha-pengusaha untuk dibimbing agar mendapat permohonan sijil halal bagi melonjakkan hasil dan dapat mewujudkan lagi peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja menyokong penuh Program Satu Daerah Satu Sungai untuk memberikan kesedaran kepada komuniti setempat berkenaan kepentingan sungai. Program demi menjaga kelestarian alam sekitar ini, amat wajar dilaksanakan terutama di kawasan yang mempunyai kawasan perindustrian seperti di kawasan Parit Raja. Parit Raja mohon pihak kerajaan mempertimbangkan agar program ini diperluaskan terutama kepada kawasan yang pesat dengan kawasan perindustrian. Ia bagi menjamin kepentingan sungai dan ekosistem serta menggalakkan dari kawasan penduduk sekitarnya tercemar mahupun menjadi mangsa banjir akibat arus pembangunan.
Parit Raja menyokong penuh dana khas yang diperuntukkan bagi pengurusan banjir dalam pembentangan Belanjawan 2021 peningkatan peruntukan penyelenggaraan parit dan saliran kepada RM40 juta, diharap bukan sahaja dapat menceriakan kampung malahan keselamatan warga kampung dari haiwan berbisa dan kebersihan kampung juga akan lebih terjamin. Namun pada masa-masa tertentu keadaan luar jangka mungkin berlaku terutama sekali pada musim hujan. Parit Raja berharap kali ini semua parit-parit dapat di selenggara dengan baik tanpa terkecuali. Penyelenggaraan berjadual juga dapat membantu dalam mengatasi berlakunya banjir kilat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya Parit Raja juga yang dikenali sebagai pusat penyelidikan kewujudan UTHM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Poli-Tech Mara, maka terdapat warga kerja dari pusat-pusat pendidikan ini yang memilih untuk menetap di kawasan Parit Raja. Terdapat banyak taman perumahan baharu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun begitu, taman perumahan ini hanya mensasarkan kepada
golongan profesional. Di mana kawasan perumahan ini hanya mampu dilihat, tidak mampu dimiliki oleh setengah-setengah masyarakat tempatan Parit Raja. Justeru itu, Parit Raja amat berbesar hati dan menyokong penuh dengan inisiatif yang telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor berkenaan projek pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor yang akan terbina dalam daerah Batu Pahat. Mudah-mudahan dalam kawasan DUN Parit Raja. Semoga dalam inisiatif ini, rakyat terutama di dalam kawasan Parit Raja yang berkelayakan akan boleh mendapat manfaatnya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja merakamkan ucapan terima kasih atas pelbagai inisiatif yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021. Parit Raja mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan menyokong penuh atas segala inisiatif kerajaan dalam Agenda Johor Niaga. Antaranya, seramai 2,396 sahabat AIM pastinya gembira dengan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bahawa kerajaan akan bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk Program Pembiayaan Sahabat Johor dalam memberi pembiayaan mikro kredit kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Dengan inisiatif ini, pihak kerajaan bukan sahaja membantu peniaga kecil yang berpotensi untuk terus maju dalam perniagaan bahkan usaha pihak kerajaan agar golongan terlibat dapat terus menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih berjaya. Mereka juga merupakan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID yang mengakibatkan perniagaan mereka terjejas. Tanpa peniaga kecil ini, sudah tentu pengilang dan pembekal juga akan turut terjejas dengan kitaran perniagaan. Sebilangan besar sahabat AIM pula adalah kaum wanita dan kaum ibu yang begitu komited untuk membantu dan menambah pendapatan keluarga dan cuba untuk berusaha berjaya dalam bidang perniagaan. Lebih 200 sasaran di kawasan Parit Raja akan mendapat manfaatnya.
Yang Berhormat Speaker, Parit Raja juga berterima kasih kepada pihak kerajaan yang mengiktiraf wanita dengan menyediakan pelbagai dana khas kepada wanita Johor seperti antaranya Centre Of Suri Johor yang menyediakan program, Woman Income Generating Skill Project dengan izin WINGS, Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus, Pesona Wanita Profesional, Kajian Pembangunan Data Wanita dan Keluarga Negeri Johor juga bantuan-bantuan kepada ibu tunggal. Namun, persaingan dalam industri pertanian dalam agenda Johor Tani nampaknya tiada pengkhususan untuk wanita. Sama ada kaum wanita tiada terlibat langsung dalam industri ini makna kata, nampaknya kaum wanita perlu bersaing untuk mendapatkan bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan dalam agenda Johor Tani.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bilangan orang muda Johor yang berumur 14 hingga 39 tahun, terdapat lebih daripada 1.5 juta orang. Mereka merupakan golongan yang mendapat manfaat dalam Belanjawan Negeri Johor 2021 melalui 5 inisiatif utama iaitu Memperkasa Mahasiswa Johor, Pelajar Sekolah Johor, Kesukarelawan dan Kepimpinan, Ekonomi Belia dan Sukan Gaya Hidup Sihat. Ia mencerminkan komitmen pihak kerajaan yang amat komited bagi melihat orang muda Johor tidak ketinggalan mendapat manfaat belanjawan serta dapat mengoptimumkan aset berharga negara agar membawa lebih banyak kejayaan khasnya di negeri Johor. Kerajaan sedar sehingga hari ini, rakyat negeri Johor amat terkesan dengan kehilangan pekerjaan akibat wabak pandemik ini.
Di bawah Agenda Modal Insan juga dapat membantu mereka yang telah diberhentikan kerja untuk mencuba bidang-bidang baru mengikut kesesuaian dan keupayaan mereka sejajar dengan objektif pihak kerajaan. Malahan dalam keseluruhan 12 agenda Belanjawan Negeri Johor, orang muda Johor dan keseluruhan rakyat Johor yang bergiat dalam pelbagai bidang juga akan mendapat manfaat. Program-program orang muda Johor seperti Johor Up-skilling, Johor Re-skilling perlu diperluaskan lagi di seluruh negeri Johor bagi membantu golongan-golongan belia yang terkesan akibat wabak pandemik COVID ini bagi menempatkan semula mereka dalam sektor pekerjaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja mengambil kesempatan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala jasa khidmat bakti semua front liners dari pelbagai agensi yang telah berkhidmat dengan begitu baik dan cemerlang dalam tempoh mendepani wabak COVID-19 sejak awal tahun 2020. Kegigihan barisan front liners untuk memastikan kesejahteraan rakyat agar terus terjamin dalam suasana pembudayaan norma baharu. Sesungguhnya, front liners yang ada pada hari ini adalah hasil kemenjadian murid yang telah dipupuk dan dididik oleh guru yang terdahulu. Ia juga terhasil dari gabung jalin peranan guru berkualiti, pemimpin berkesan dan sokongan PIBG serta komuniti yang telah berjaya membentuk jiwa bakti yang hebat pada barisan front liners yang ada pada hari ini. Begitu besar peranan dari setiap kita, terutama sekali para guru yang merealisasikan impian membentuk generasi berjaya dan berbakti. Maka, tugas guru hari ini menjadi lebih mencabar kerana memerlukan kepada kaedah dan cara yang baharu.
Dalam mendepani wabak COVID-19, pelajar dari pelbagai peringkat menjadi golongan yang amat terkesan. Mereka bukan sahaja membudayakan norma baharu tetapi pelajar tidak dapat belajar secara bersemuka bahkan terpaksa belajar secara dalam talian. Oleh yang demikian, Parit Raja memohon kepada pihak kerajaan agar memberi perhatian dan meneliti tahap dan mutu perkhidmatan capaian Internet di kawasan-kawasan luar bandar terutama sekali kampung-kampung yang terdapat di dalam negeri Johor. Walau pun capaian Internet telah meluas tetapi masih lagi terdapat kawasan kampung terutamanya yang mengalami gangguan liputan. Jadi bagaimana anak-anak kita mengikuti pembelajaran secara dalam talian termasuklah mahasiswa untuk mengikuti pembelajaran di rumah dengan cara yang lebih berkesan. Parit Raja mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana amat prihatin dan memberi perhatian dalam perkara ini yang telah disebut dalam Belanjawan 2021 iaitu Agenda Johor Digital yang benar-benar mampu memastikan di segenap pelosok termasuk kampung-kampung yang terdapat di dalam Johor ini mendapat manfaat capaian Internet yang sewajarnya. Parit Raja amatlah berharap pelaksanaan ini berjaya mencapai matlamat agar benar-benar dapat membantu pembelajaran secara dalam talian terutama sekali di kawasan yang ketika ini mengalami kesukaran. Parit Raja juga memohon kepada pihak kerajaan agar dapat mempertimbangkan bagi memperkasa dan mewujudkan TV Pendidikan kepada seluruh pelajar khususnya di dalam negeri Johor ini yang mana TV Pendidikan ini dapat ditonton secara percuma di televisyen mahupun di media sosial seperti Youtube di rumah. Seperti yang kita sedia maklum dan kita perlu akui televisyen merupakan peranti yang paling mudah diakses oleh rakyat pada ketika ini. Dengan kewujudan platform sedemikian sudah tentu ia akan dapat memberi manfaat yang berguna kepada para pelajar di luar sana. Bagi menghidupkan TV Pendidikan ini, pihak kerajaan bolehlah menggunakan kepakaran yang terdapat pada guru-guru pakar mengikut bidang pengajian. Untuk mendapatkan manfaat yang boleh dikongsikan kepada para pelajar. Khidmat nasihat kaunselor daripada sekolah-sekolah juga boleh dikongsikan bagi memberikan motivasi kepada pelajar dalam menghadapi tempoh pandemik. Tips menghadapi peperiksaan serta juga memberikan panduan kepada ibu bapa. Di dalam pembudayaan norma baharu dalam pendidikan ketika ini selain bergantung sepenuhnya kepada pembelajaran atas talian. Platform seperti ini juga akan memberikan banyak manfaat yang berguna kepada pelajar dan ibu bapa di luar sana.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan hari ini perlu bersedia dan berusaha untuk menyediakan barisan front liner yang hebat pada masa-masa akan datang. Tetapi bagaimana jika bilangan guru tiada pertambahan. Kerajaan negeri harus melihat perkara ini sebagai keutamaan. Oleh yang demikian, pengambilan guru agama bagi sekolah agama kerajaan negeri Johor untuk mengisi kekosongan jawatan tetap adalah amat perlu dan sudah tiba pada masanya dengan bilangan pengambilan yang perlu dipertingkatkan. Ianya diharap dapat menyeimbangkan 12 buah sekolah agama dalam perancangan bina baru seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Parit Raja juga mengucapkan terima kasih dan menyokong penuh pengumuman Yang Amat Berhormat
Menteri Besar Johor iaitu sebanyak RM8 juta. Projek pendidikan Islam digital bakal dilaksanakan dan sudah tentu ia memerlukan lebih ramai tenaga baru bagi merealisasikannya. Parit Raja juga merakamkan setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah mengembalikan dana infak kepada tadika KEMAS di seluruh Johor. Sesungguhnya ini adalah komitmen di peringkat awal oleh pihak kerajaan dalam usaha melahirkan anak Johor mempelajari ilmu fardu ain dan memacu rakyat Johor dengan asas pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai mana negeri Johor dan negara kita berjaya melandaikan lengkok dalam menangani kes COVID-19 sejak melanda negara kita. Pada gelombang yang pertama, rakyat negeri Johor pelbagai lapisan dan berbilang kaum telah bersama berganding bahu dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19. Bagi merealisasikan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2021, marilah kita rakyat Johor untuk terus bersama berganding bahu bagi memastikan Bangsa Johor berjaya untuk keluar dari pelbagai masalah yang wujud akibat pandemik COVID ini. Parit Raja yakin, rakyat Johor akan menjadi bangsa yang lebih bersedia, bangsa yang lebih berdaya tahan dan bangsa yang berupaya membina tamadunnya yang berjaya. Akhir kata, rumah limas, anjung selatan, bunga kemuning tumbuh di taman, negeri Johor permata selatan, berdaya tahan demi kemakmuran. Parit Raja menyokong pembentangan Belanjawan 2021 yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan tema “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Parit Raja. Seterusnya Tiram. Jemput.
Selamat sejahtera dan salam reformasi. Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan, ADUN-ADUN, Ketua-ketua Jabatan yang bersama-sama dengan kita. Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat dan sihat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Ulang tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Tuan Speaker, hari ini sejajar dengan Belanjawan 2020-2021 strategi pelaksanaan perbelanjaan, 12 agenda kebajikan, keberdayaan dan kebersihan utama. Di antara 12 agenda, salah satunya adalah masyarakat desa Johor. Dalam pelaksanaan pembangunan-pembangunan, jangan tertinggal kawasan DUN Tiram. Ada beberapa isu diselesaikan dengan segera. Yang Berhormat Tuan Speaker, pada hari ini saya nak cerita sedikit filem Tamil sebelum saya mulakan topik saya.
Ada lakonan ya?
Ya, yang bernama, filem Tamil itu ialah Citizen. Dalam cerita itu
Siapa hero Yang Berhormat?
Hero Ajid.
Oh, ingat Tiram.
Dalam cerita itu, ada satu village iaitu kampung bernama Athipathi. Athipathi dalam filem itu hilang daripada map ataupun peta negara India kerana kampung tersebut banyak kekurangan. Diselubungi dengan laut dan juga sungai. Jadi, banyak pembangunan peruntukan pembangunan daripada pusat disalurkan untuk membangunkan dan membaiki kampung tersebut tetapi orang tengah iaitu
politik dan juga pegawai-pegawai kerajaan salah guna kuasa dan you tengoklah habiskan duit itu semua, terakhirnya kampung itu, hujan lebat.
Lebat.
Banjir dan juga hakisan, kampung itu tertimbus dalam tanah. Jadi kenapa saya bawa ini? Saya ada juga satu kampung di Tiram sebagai namanya Kampung Perigi Acheh dengan serba kekurangan, dengan serba kekurangan. Jadi saya duduk dengan bersama-sama ketua-ketua komuniti di sana dan dapat beberapa aduan dan juga cadangan untuk membaiki Kampung Perigi tersebut. Pada mulanya mengenai nelayan. Pelepasan bahan tercemar dari kawasan perindustrian Tanjung Langsat, pergi ke Sungai Kopok dan mengalir masuk ke Sungai Daing Perigi Acheh menyebabkan berlaku pencemaran sungai dan banyak kehidupan marin laut mati. Akibatnya nelayan-nelayan hilang sumber pendapatan. Mohon membina, fact yang kedua. Mohon membina pelantar terapung untuk mudahkan nelayan turun naik ke laut kerana sungai Perigi Acheh kerap kali berlaku air pasang yang tidak menentu menyebabkan nelayan sukar membawa keluar hasil tangkapannya. Nelayan-nelayan yang tidak mempunyai lesen menghadapi berbagai masalah dan mereka susah untuk mencari nafkah. Memohon kepada pihak berkuasa, permudahkan dan mempercepatkan permohonan lesen nelayan. Nelayan Perigi Acheh mempunyai 25 orang yang tidak mempunyai lesen, kerap kali ditahan oleh pihak yang berkuasa. Gangguan dari marin juga terlalu hebat. Cadangan. Nombor 6. Mohon dari TNB untuk lampu jalan di sepanjang jalan laluan masuk ke Perigi Acheh. Keadaan gelap dengan tepi, kiri, kanan jalan hutan bakau menyebabkan sering berlaku kemalangan dan kematian penunggang seperti melanggar babi hutan yang hendak menyeberang jalan dan kecurian kerana keadaan gelap dan sunyi. Seterusnya.
Nasib baik tidak ada penembak babi.
Membina dan membaik pulih longkang utama. Ini semua Perigi Acheh ya. Dan membina 5 aliran longkang. Baru maklum telah berlaku 12 kes denggi di kampung Acheh dan saranan dari Kementerian Kesihatan Negeri Johor dan Pengarah Kesihatan Hospital Ismail sewaktu program, persediaan hadapi bencana di Kampung Acheh supaya ada tindakan dibuat.
Ini terakhir pada mereka, masalah binatang liar seperti anjing, monyet dan burung gagak banyak memberi masalah kepada penduduk kampung. Aduan telah dibuat kepada pihak MPPG. Tindakan mereka ialah datang dan membawa sauh untuk menangkap anjing tersebut tetapi tidak membuahkan hasil kerana anjing dari masuk hutan, lari masuk hutanlah, bakau dan pihak MPPG tidak dapat mengejarnya. Masalah monyet dan gagak masih belum ada apa-apa tindakan dari pihak berkaitan. Pihak kami juga ada membuat aduan kepada Jabatan PERHILITAN. Malangnya mereka memberi jawapan perkara itu di luar bidang kuasa Jabatan PERHILITAN dan mereka cadangkan supaya dimaklumkan perkara ini kepada MPPG dan jabatan haiwan. Pihak kami memandang sangat serius tentang masalah anjing liar. Ini kerana lebih kurang 20 buah biji rumah penduduk kampung telah dimasuki anjing liar. Sangat membimbangkan lagi adalah anjing liar mengejar budak-budak yang berjalan ketika hendak ke sekolah, ke masjid, dan ke kedai. Keadaan ini sangat membimbangkan penduduk kampung.
Yang Berhormat Tuan Speaker,saya mengambil kali ini satu kampung sahaja sebab DUN Tiram mempunyai banyak kampung, ada banyak masalah. Saya tidak membawa semua sebab tak cukup masa. Oleh kerana itu, saya memohon kepada pihak-pihak yang berkuasa, Kampung Perigi Acheh perlu diberi perhatian segera.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya, saya nak bawa perkara mengenai kaum India. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum harus diberi peluang pekerjaan yang sama rata tanpa
mempunyai sebarang elemen diskriminasi di sektor awam mahupun di sektor swasta. Tinjauan sebuah pusat penyelidikan swasta baru-baru ini mendapati bahawa kaum Melayu dan India lebih cenderung menjadi mangsa diskriminasi ketika memohon pekerjaan dalam sektor swasta. Tambahan pula terdapat sektor swasta telah menggariskan pengetahuan iaitu kemahiran komunikasi, bahasa Mandarin sebagai kriteria untuk menjawat sebuah jawatan. Dalam negeri ini kita tidak harus ada sebarang bentuk diskriminasi dalam bentuk perjawatan berasaskan sesuatu bahasa. Tambahan pula bahasa Mandarin yang saya beritahu tadi, walaupun satu bahasa yang sangat penting dan digunakan secara meluas di negara ini tetapi kerajaan tidak meletakkan ianya sebagai satu kriteria utama. Pada pandangan saya, semua harus diberi peluang pekerjaan tanpa mengira kaum dan jantina jika ada kelayakan. Kita tidak tahu kemampuan atau kebolehan seseorang individu dalam bidang-bidang tertentu dalam memaksimumkan pengeluaran atau pun output. Tambahan pula dalam konteks masyarakat India pula, ramai sangat mengharapkan peluang pekerjaan dalam sektor awam di peringkat negeri dan persekutuan. Tetapi yang mendukacitakan ialah peratus pengambilannya lebih rendah berbanding dengan peratus kaum India di negeri dan negara ini. Walaupun diberi peluang bagi jawatan-jawatan sebagai pemandu, kerani am dan pelayan pejabat sahaja, jawatan untuk gred yang lebih tinggi seperti gred 41 dan ke atas agak mustahil. Kenapakah situasi ini berlaku? Apakah generasi muda dalam kaum India tidak berkebolehan? Atau tidak berkelayakan, ataupun memang perlembagaan sesebuah negeri ini tidak membenarkan kaum lain menjawat jawatan, sebarang jawatan di peringkat negeri. Perkara ini telah di bawa ke Dewan oleh beberapa orang pemimpin sebelum saya. Kenapakah ia masihnya, ianya masih kekal sebagai kenyataan dan kenapakah ianya tidak boleh direalisasikan? Apakah yang membendung situasi ini?
Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Dewan sekalian, dengan sekali sekala salah faham bahawa masyarakat India dan Cina ramai diberi pekerjaan di bidang pendidikan. Ramai dilantik sebagai guru, itu adalah peluang pekerjaan di peringkat pusat, itu pun mereka diberi peluang atas tiket adanya SJKC dan juga SJKT di negara ini. Jika sekolah-sekolah vernakular dihapuskan seperti mana yang disarankan beberapa orang pemimpin yang kurang arif tentang Perlembagaan Persekutuan 1957, maka peluang perjawatan ini pun akan hilang. Kita tinggalkan dulu peringkat persekutuan dan di peringkat negeri pula, pihak kerajaan negeri Johor harus mengorak langkah dalam memberi peluang pekerjaan di sektor swasta dan awam kepada yang berkelayakan. Pengesyoran saya ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Ini adalah asas kepada penyatu paduan. Rakyat melalui pekerjaan jika wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, maka agak mustahil untuk menyatupadukan mereka.
Kita harus mengoptimumkan tenaga kerja kita, ramai yang berpandangan bahawa rakyat berbilang kaum di negara ini kurang bersatu padu di sebabkan oleh sistem pendidikan. Pada pandangan saya peluang pekerjaan, peluang mendapat bantuan perniagaan, peluang bantuan kewangan kerajaan, peluang biasiswa pendidikan dan terdapat banyak lagi yang rakyat mengharapkan.
Apabila semua ini sebagai mimpi dan impian sahaja apakah daya kita untuk menyatupadukan rakyat khasnya rakyat negeri Johor. Apakah daya kita untuk membawa kepercayaan rakyat tentang pemimpin dan kerajaan negeri Johor? Baru-baru ini center for governance and political studies dengan izinnya, mendedahkan tinjauan yang menjadi diskriminasi kaum lebih cenderung berlaku di semua tempat dan sektor serta dalam mendapat pelbagai peluang. Ia melibatkan semua kaum, apakah langkah sewajarnya boleh diambil?
Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Dewan, kita harus menjalankan kajian di peringkat negeri dan seterusnya merangka pelan tindakan untuk mengatasi pelbagai rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini khasnya. Pelan tindakan harus dirangka secepat mungkin sebelum parah. Saya memang tahu bahawa kita tidak dapat memuaskan
hati semua lapisan masyarakat dan semua kaum di negeri ini. Tetapi kita boleh berusaha mengurangkan sentimen perkauman di pelbagai sektor khasnya sektor pekerjaan dan perniagaan. Tambahan pula ahli-ahli politik juga diseru supaya jangan sekali kala menabur sentimen perkauman bagi meraih sokongan daripada sekumpulan rakyat sahaja. Inikan menghancurkan perpaduan yang kita telah bina selama 62 tahun. Demi kebaikan negeri saya sekali lagi menyeru supaya pelan tindakan harus dibentuk pada masa terdekat ini dan Tiram berterima kasih.
Yang Berhormat Speaker, Tiram berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memperuntukkan RM6 juta, RM4 juta saya tak berapa faham ini, RM6 juta kaum India ataupun RM4 juta untuk siapa ini? Tetapi saya faham daripada tadi YB Liow Cai Tung, RM6 juta untuk kaum Cina, RM4 juta untuk kaum India melalui yayasan-yayasan. Dana ini difahamkan digunakan untuk keusahawanan dan pendidikan komuniti masing-masing. Tiram tidak faham jumlah yang diagihkan ini, adakah diberi kepada kuil dan sekolah-sekolah Tamil?
RM4 juta cukup Yang Berhormat?
Tak cukup. Sebab saya memohon kepada kerajaan sekarang RM4 juta sudah diperuntukkan untuk sekolah Tamil dan juga kuil yang penting sekali kuil dengan sekolah Tamil, perlu mengadakan memberi sedikit peruntukan khas untuk mereka. Ini permohonan saya.
Tuan Speaker, kita ada lagi, ada 2 topik dah 15 minit boleh habis ke, saya pun tak tahu. Tuan Speaker, mengenai pendidikan swasta.
Tadi cerita filem, itu yang panjang, tu.
Haluan selepas SPM, STPM dan program matrikulasi sememangnya menjadi dilema kepada pelajar. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak tahu apakah pilihan laluan yang boleh ambil, di ambil dan apa kepentingan laluan tersebut dalam menentukan masa depan mereka. Antara dilema yang dilanda pelajar adalah mereka tidak di beri peluang atau tempat di IPTA atas beberapa sebab dan alasan. Jika ditawarkan pun, tidak dapat meneruskan pengajian mereka dalam jurusan atas bidang pengajian yang mereka ingini. Akhirnya mereka terpaksa ke IPTS untuk mencari peluang yang lebih baik di sana. Dalam lain perkataan, para pelajar ingin mencari skop yang lebih memberi jaminan pekerja pada masa akan datang.
Untuk makluman para Ahli Dewan sekalian, terdapat lebih daripada 400 institusi swasta termasuk kolej, kolej universiti dan universiti. Dan 20 universiti awam di Malaysia semuanya sedang cuba untuk memenuhi keperluan mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti yang semakin meningkat di kalangan anak muda Malaysia, tetapi kos pengajiannya sangat tinggi. Payment nya kos.
Untuk makluman semua, perbezaan yang paling ketara antara belajar di sebuah institusi awam berbanding belajar di sebuah institusi swasta adalah yuran. Jumlah yuran untuk kursus di universiti swasta boleh mencecah sehingga 3 hingga 9 kali ganda jumlah yuran di sesebuah universiti awam. Sebagai contoh, mengajar ijazah Kejuruteraan di sebuah universiti swasta boleh mencecah kos antara RM47,000.00 hingga RM172,000.00 untuk yuran pengajian sahaja. Sebaliknya pelajar kursus yang sama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) salah satu institusi kejuruteraan yang lebih mantap di Malaysia hanya akan dikenakan bayaran lebih kurang RM1,500.00 untuk 1 semeter. Tengok macam mana perbezaannya. Dalam situasi atau keadaan zaman pasca COVID ini ramai yang telah kehilangan punca pendapatan mereka atau kurang berpendapatan berbanding dengan zaman sebelum pandemik COVID. Terdapat beberapa IPTS telah memberi diskaun atau
potongan yang, potongan yuran kepada pelajar mereka dan yang tidak mahu berbuat sedemikian.
Apakah salahnya pihak kerajaan campur tangan dalam hal ini untuk menghidupkan semula visi dan misi generasi muda di negeri ini. Saya rasa pihak kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung pengautan keuntungan sahaja oleh IPTS dalam zaman darurat pandemik COVID-19 ini. Apa salahnya IPTS-IPTS di negara ini diberitahu oleh kerajaan untuk memberi potongan harga atau menerima yuran yang paling minima bagi setiap seorang pelajar yang mengikuti program atau pengajian di institusi-institusi yang berkenaan. Bank dan institusi kewangan dapat memberi moratorium kepada seluruh rakyat negara ini dan mengapakah IPTS tidak mahu berbuat demikian. Ada beberapa buah negara di dunia memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya.
Saya di sini tidak berhasrat untuk memaksa pihak IPS memberi pendidikan percuma. Tetapi pihak swasta boleh buat sesuatu untuk meringankan masalah kewangan para pelajar. Walaupun ada bantuan kewangan disediakan untuk meringankan beban biasiswa dan pinjaman PTPN, belajar di sebuah universiti swasta mungkin mahal bagi sesetengah orang terutamanya jika pelajar tidak mempunyai sokongan kewangan daripada ibu bapa mereka. Ramai ibu bapa yang terkesan terutamanya dari segi ekonomi akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagi membendung penularan wabak COVID-19, gaji dipotong, di minta bercuti tanpa gaji dan paling menyedihkan diberhentikan kerja. Nak menyalahkan sesiapa pun tidak boleh, sebab semua orang terkesan dan mempunyai bebanan masing-masing sama ada bekerja mahu pun majikan.
Cadangan penyelesaian. Kerajaan harus campur tangan dalam mengurangkan bebanan pelajar dan ibu bapa dalam membayar yuran sangat tinggi. Kerajaan harus mengesyorkan pelan pembayaran seperti moratorium kepada IPTS, kerajaan harus mengkaji kos kursus yang ditawarkan oleh pihak IPTS berbanding dengan IPTA. Ini sedikit sebanyak dapat mengawal pihak IPTS mengaut keuntungan 3 hingga 9 ganda yuran IPTA.
Yang Berhormat Speaker, lagi satu perkara juga saya di bawa di sini ialah yuran ataupun fees untuk hospital swasta. Mendapat rawatan di hospital awam atau hospital swasta bergantung kepada pilihan masing-masing. Menurut pengamal perubatan Dr. Wai Foong, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ada di kalangan masyarakat yang memilih rawatan di pusat penjagaan kesihatan swasta.
1. Ramai tidak suka menunggu agak lama untuk mendapatkan rawatan. Tambahan pula yang menunggu itu pula tidak sihat dan sudah tentu ada yang tidak gemar dengan situasi begini.
2. Terdapat juga pesakit yang mungkin tidak berapa puas hati dengan rawatan yang diberikan hospital awam dan kadang kala juga mereka mahu mendengar pendapat kedua, second opinion dengan izinnya, tentang masalah yang mereka hadapi sebab pesakit kurang puas hati dengan pendapat, pandangan atau saranan doktor hospital awam.
3. Di hospital swasta, pesakit dapat rawatan yang cepat dan pesakit juga pilih pakar yang mereka mahu untuk beri rawatan. Manakala di hospital awam yang memberi pandangan merupakan doktor yang baru dilantik. Masih dalam latihan, muda dan biasanya tidak begitu arif dan kurang pengetahuan tentang sesuatu kes ataupun penyakit. Saya bukan cakap semua, ada sebahagian. Mereka biasanya memberi pandangan umum dan kadang kala bercanggah dengan pandangan doktor swasta.
4. Di hospital swasta temu janji diberi di waktu yang sesuai bagi pesakit. Biasanya dalam masa terdekat. Manakala di hospital kerajaan ianya mengambil masa yang agak panjang misalnya bagi seorang pesakit kronik asma diberi masa 6 bulan untuk konsultasi atau temu janji seterusnya. Dalam masa yang agak lama ini sesuatu boleh berlaku. Pesakit takut dan mereka lebih selesa ke hospital swasta.
5. Kini ramai yang suka pergi ke hospital swasta kerana majikan mereka menyediakan insurans penjagaan kesihatan sebagai satu daripada kemudahan di tempat kerja. Maka pesakit ingin menggunakan kemudahan tersebut, ada yang memiliki medical card dan terdapat pelbagai perlindungan insurans kesihatan. Daripada pelan keluarga hinggalah kepada pakej perlindungan pakar.
6. Kemudahan di hospital di dapati lebih canggih berbanding dengan hospital awam. Tambahan pula untuk menggunakan kemudahan seperti CT Scan dan sebagainya kena tunggu agak lama di hospital awam, iaitu kadang kala makan masa lebih daripada 4 bulan. Manakala di hospital swasta ianya dijalankan dalam satu atau dua hari sahaja.
Persoalan di sini ialah kerajaan membelanjakan berbilion ringgit untuk menyediakan serta meningkatkan kemudahan kesihatan di negara ini, namun mengapakah hospital-hospital awam biasanya menerima reputasi yang tidak begitu baik. Sebenarnya, harus merupakan model atau contoh bagi kecemerlangan di bidang klinikal. Peralatan tidak mencukupi, kurangnya petugas, kurangnya jururawat, doktor, ahli fisioterapi, situasi begini di gunakan dengan baik atau kesempatan ini telah diguna pakai dengan oleh hospital-hospital swasta.
Banyak lagi Yang Berhormat?
2 minit.
Azan Yang Berhormat.
Hospital-hospital swasta untuk mengaut keuntungan yang maksimum.
Azan Yang Berhormat. Kejap.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)
Ringkaskan Yang Berhormat. Masa dah, masa dah lebih 20 minit
Sikit lagi, sikit lagi. Hospital-hospital swasta mengenakan pelbagai jenis bayaran sehingga ada pesakit yang tidak mampu dan pernah melarikan hospital. Saya sendiri pernah membantu seorang pesakit dari Skudai yang mengalami trauma di hospital swasta Jalan Abdul Samad, Johor Bahru. Di hospital kerajaan, pesakit hanya perlu membayar RM1.00 konsultasi. Tetapi, di hospital swasta pesakit perlu bayar antara RM30.00 hingga RM250.00 untuk konsultasi sahaja. Bagi yuran pendaftaran kemasukan ke hospital awam pesakit hanya perlu membayar RM15.00 hingga RM35.00 manakala di hospital swasta pesakit perlu membayar yuran kemasukan antara RM500.00 hingga RM2,000.00, 6% hingga 10% daripada kos keseluruhan pembedahan anda. Selain itu, ujian-ujian lain seperti x-ray, ultrasound, ujian darah, CT SCAN dan MRI juga perlu dibayar dengan caj yang pastinya 10-20 kali lebih tinggi daripada hospital awam.
Saya di sini menekankan dan meminta kerajaan supaya dapat membantu para pesakit yang mendapat rawatan di hospital swasta dalam menekankan kadar minima dan maksima dalam
mengenakan bayaran terhadap para pesakit yang memerlukan rawatan. Kita tidak mahu hospital swasta bermaharajalela dalam mengekalkan bayaran mereka. Nampaknya pihak hospital swasta lebih teruk, kejam daripada along-along di negara ini. Peningkatan seumpama ini telah menaikkan dalam suku tahun kebelakangan ini. Permintaan saya mudah sahaja. Kerajaan harus membantu bertindak tegas berdasarkan aduan rakyat menyediakan peraturan-peraturan tertentu dalam mengenakan bayaran untuk semua perkhidmatan di hospital swasta. Memanglah kita semua sedia maklum, bahawa ramai ke hospital swasta untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih kondusif tetapi janganlah sampai mencekik pesakit. Jika situasi ini berleluasa maka pesakit ini akan mati disebabkan oleh bayaran yuran, bayaran yang dikenakan oleh hospital dan bukannya penyakit yang dihidapinya itu.
Yang Berhormat Speaker,
Dah lewat Yang Berhormat.
Saya ni gulung.
Tamatkan Yang Berhormat.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan juga menghargai our front liners, dengan izinnya, yang mengorbankan diri untuk menjaga pesakit-pesakit Corona. Ini bukan sebagai kerja, mereka adalah mengorbankan diri. Dengan ini saya mengucapkan terima kasih, thank you.
Terima kasih kepada Tiram. So, Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguh ke jam 2.30 petang ini. Sekian.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.10 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini disambung semula. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Bekok.
Selamat tengah hari, salam sejahtera dan terima kasih Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi peluang untuk berucap dan ambil bahagian dalam Perbahasan Bajet 2021 pada tengah hari ini. Saya, Bekok ingin terlebih dahulu sebagai Bangsa Johor, rakyat Johor, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dan dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020.
Yang Berhormat Puan Speaker, Bajet 2021 bertema “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran” telah dibentang oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Memang kita berada dalam satu masa yang begitu mencabar dan luar biasa dan tidak tahu bila masa unprecedented ini akan berakhir. The light at the end of the tunnel dengan izin, belum nampak lagi. Kesihatan politik dan ekonomi negara dalam keadaan tak tertentu tapi pentadbiran dan pengurusan dalam keadaan ini mesti diurus dengan cekap, berhemah dan berorientasi matlamat.
Yang Berhormat Puan Speaker, sukses Bajet 2021 yang dirancang dengan baik bergantung kepada pelaksanaan implementasi dan delivery. Dalam proses delivery, semua jabatan mesti inklusif kepada semua warga Johor, Bangsa Johor dan sasaran lebih tepat. Kerajaan harus ambil langkah-langkah untuk memastikan anggaran tidak hanya baik di atas kertas tetapi juga dapat mencapai tujuan yang diinginkan. Kami berharap mekanisme yang kuat dapat dikerjakan untuk memastikan peruntukan yang diberi menjangkau kumpulan sasaran seperti yang dirancangkan. Bekok cadang bahawa satu Jawatankuasa dari Sidang Dewan dapat ditubuhkan untuk pantau bahawa peruntukan sampai sasaran dan matlamat dapat dicapai. Bajet diumumkan di Sidang Dewan yang mulia ini dan lulus oleh Dewan mulia ini maka satu Jawatankuasa dari Dewan mulia ini lebih sesuai sebab Ahli Dewan ialah Wakil Rakyat dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Yang Berhormat Puan Speaker, peruntukan ADUN pembangkang dapat dinaik dari RM50,000.00 kepada RM150,000.00, Bekok mengucapkan terima kasih atas kenaikan dan ini akan bantu ADUN-ADUN berkhidmat di kawasan mereka.
Yang Berhormat Puan Speaker, agenda pertama Food Security ini ialah satu peluang untuk pertanian pintar kepada pekebun kecil. Industri pertanian kini mengalami gangguan dan halangan yang besar seperti ketidaktentuan cuaca, perubahan iklim, kekangan persekitaran dan peraturan, kekurangan ruang dan permintaan yang lebih tinggi untuk kualiti makanan, kemerosotan tanah dan kebimbangan kelestarian. Walau bagaimanapun, sektor ini masih ada peluang dan ruang untuk pertumbuhan. Maka keprihatinan kerajaan negeri Johor mesti dikongsi oleh pejabat-pejabat awam yang akan menguruskan pelaksanaan Bajet.
Di sini, saya mohon kepada semua jabatan-jabatan berkaitan seperti Pejabat Tanah, Pertanian, Veterinary mesti proaktif untuk menjayakan hasrat ini. Tanah TOL yang tidak digunakan boleh digunakan untuk pertanian hingga tanah itu diperlukan untuk tujuan asal. Saya ada pengalaman Yang Berhormat Puan Speaker bahawa satu penduduk di kawasan saya mohon untuk gunakan tanah yang terbiar yang sedang digunakan untuk buang sampah, mohon untuk gunakan untuk pertanian sayur-sayuran tapi Pejabat Tanah tolak sebab tanah itu diperuntukkan untuk satu klinik. Kami pun tidak tahu bila klinik itu akan ditubuhkan, sehingga itu tanah itu boleh digunakan untuk tanaman sayur-sayuran. Jadi, kita mesti berfikiran berlainan lebih membantu bukan ikut peraturan ketat-ketat.
Jadi, saya mohon bahawa kerajaan beri arahan kepada..
Yang Berhormat sila letak teks di atas meja…
Saya mohon bahawa pihak pengurusan memberi arahan kepada pegawai-pegawai di bawah lebih prihatin kepada rakyat. Dengan Agenda Digital Pertanian 4.0 boleh digalakkan. Latihan dan cara pertanian baru boleh dilaksana oleh Jabatan Pertanian untuk menarik pemuda dalam bidang ini. Petani tradisional susah nak ubah. Kalau kita mahu teknologi baru kita mesti menarik pemuda. Pertanian pintar boleh gunakan automasi data menggunakan cloud, artificial intelligence untuk menganalisis data, membolehkan kebun dikembang dan pertanian boleh maju dan juga pertanian di bandar pun boleh dimajukan.
Yang Berhormat Puan Speaker, di sini saya juga ingin maklum bahawa pertanian tenusu adalah satu pertanian besar di Johor. Pertanian ini ada satu potensi yang besar sebab 90% permintaan tenusu diimport dari negara luar. Jadi satu potensi yang begitu besar. Jadi ada banyak ruang untuk maju tetapi ramai orang, ramai petani tenusu di luar tidak dapat sokongan yang cukup. Satu masalah besar ialah tanah. Jadi, saya mohon kepada Jabatan Pertanian dan Veterinary untuk bantu petani tenusu untuk majukan perniagaan mereka. Ini akan menyumbangkan kepada food security.
Yang Berhormat Puan Speaker, ada juga tanah-tanah di kawasan saya yang diperuntukkan untuk green, pertanian tapi tanah yang diberi kepada petani mereka semua tanam kelapa sawit. Jadi, ini saya ingat lari daripada tujuan asal. Jadi, harap Jabatan Pertanian boleh ambil perhatian di sini dan tengok macam mana boleh ubah balik kepada tujuan asal. Dan satu lagi masalah di sini ialah akses Internet di luar bandar. Kalau kita mahu gunakan pertanian atau teknologi moden di pertanian di luar bandar masalah ialah penyambungan Internet di kawasan luar bandar. Dan ini perlu ditingkatkan kalau boleh ditingkatkan pertanian di luar bandar boleh dimajukan lebih cepat. Dan juga orang muda lebih berminat kalau teknologi moden digunakan dalam pertanian. Mahupun pertanian haiwan ataupun sayur-sayuran.
Yang Berhormat Puan Speaker, Agenda Johor Digital, memang pandemik COVID-19 telah mengubah cara kita berkomunikasi, bekerja, saling berhubung dan berniaga. Oleh itu, transformasi digital adalah jalan yang harus dipilih. Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baru dan ini juga memerlukan pekerja mahir. Digitalisasi akan meningkatkan industri utama seperti industri-industri lain seperti kewangan, kesihatan, pendidikan dan juga perkhidmatan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana. Di sini saya mohon perhatian kepada dua aspek iaitu, satu hardware iaitu infrastruktur telekomunikasi yang lebih meluas boleh sampai semua kawasan di Johor dan juga software. Software ialah ertinya agensi yang boleh berkolaborasi dan menyokong untuk mengembangkan dasar nasional untuk mencapai perjalanan digitalisasi melatih bakat baru ekosistem, digital dan keselamatan digital. Warga Johor mesti memupuk budaya digital di kalangan rakyat Malaysia.
Sekali lagi hendak maklum bahawa pengaksesan Internet masih kurang di kawasan-kawasan luar khususnya di kawasan saya Bekok, Chaah, Kampung Orang Asli, mereka susah dapat Internet. Dan kalau dapat pun tidak begitu kuat. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh urus dengan melalui online dan juga murid-murid sekolah untuk ikut pelajaran melalui Internet pun tak boleh jalankan. Jadi, Bekok memohonkan Internet coverage, broadband di kawasan luar bandar dan jauh dari bandar ditingkatkan.
Yang Berhormat Puan Speaker, jaringan keselamatan sosial iaitu di sektor informal. Pekerja Malaysia di Singapore dan juga pekerja yang bekerja di sektor tidak rasmi, informal sector seperti pekerjaan sendiri, penghantar, dispatch rider, petani kecil, pekerja di bengkel kecil, pekerja bergaji harian tidak mempunyai perlindungan sosial, social protection. Sekarang kita hampiri Gig Economy yang mempelawa pekerja bekerja secara bersendirian. Harap golongan ini diwajibkan untuk mempunyai caruman PERKESO. PERKESO akan memberi perlindungan kepada risiko kehilangan pekerjaan, kecederaan dan kehilangan pendapatan kepada golongan ini. Jadi, inilah kekurangan kepada golongan ini, social protection. Kita sudah masuk hampir 11 bulan dalam wabak pandemik. Saya mohon kerajaan negeri untuk cari jalan untuk mengurangkan kos ujian COVID test dan juga menyediakan ujian secara meluas. Pekerja dalam sektor informal lebih kurang 8.9%, mereka pendapatan mereka sangat kurang, jadi pergi ke test ini jadi satu beban kepada mereka. Jadi, mohon kerajaan ambil langkah-langkah untuk mengurangkan beban golongan ini. Di samping itu, saya juga mohon bahawa PBT, Majlis-Majlis galakkan pertanian dan juga pembukaan gerai kepada golongan yang hilang kerja. Dan di kawasan saya, saya nampak juga PBT atau Majlis sangat keras dan selalu saman, jadi ramai pekedai pun takut untuk buka gerai, sebab takut dia di saman. Jadi saya mohon bahawa janganlah begitu keras, beri nasihat dulu, ajar mereka, guide mereka kalau mereka masih degil tak ikut SOP baru issue saman. Jadi, kita perlu bantu peniaga kecil dan juga pekerja-pekerja di sektor informal. Dan juga saya mahu ingatkan bahawa e-Kasih iaitu pendapatan garis kemiskinan nasional pun dinaikkan daripada RM908.00 hingga RM2,208.00 jadi golongan yang di klasifikasi sebagai warga miskin ialah 3.49 %. Ini pun satu perkara saya mohon bahawa kerajaan negeri ambil perhatian.
Yang Berhormat Puan Speaker, rumah kos rendah dan mampu milik di Chaah, di Bekok. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga sentuh projek pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik dalam Bajet 2021. Di sini saya ingin maklum bahawa di pekan Chaah, Labis lama tidak ada projek rumah kos rendah dan mampu milik. Chaah adalah satu pekan kecil di Labis di mana penduduknya kebanyakan pekerja di estet, kebun kecil kelapa sawit, getah, pertanian dan petani tenusu. Tapi mereka tidak ada apa-apa program rumah kos rendah.
Generasi 2 dan generasi 3 tidak ada projek kos rendah. Jadi ramai orang duduk di rumah sewa ataupun mereka duduk dengan ibu bapa. Dan mereka pun tidak mampu beli rumah daripada pihak swasta. Oleh itu Chaah memerlukan projek perumahan kos rendah atau mampu milik. Saya faham bahawa syarikat SSI telah membeli satu tanah seluas 10 ekar daripada Ladang Ajijaya untuk membina rumah kos rendah, tetapi belum buat apa-apa projek lagi. Saya mohon Jabatan Perumahan untuk membina rumah kos rendah di tapak ini untuk penduduk di Chaah. Saya pun menerima banyak pertanyaan daripada penduduk Chaah iaitu adakah kerajaan akan membina rumah kos rendah di kawasan ini.
Untuk makluman Pengerusi Jawatankuasa Perumahan juga, saya ingin maklum di sini bahawa ada satu projek perumahan oleh SPNB di Chaah, di kawasan seluas 50 ekar yang dimulakan dalam tahun 2011, tetapi projek itu sudah terbengkalai dan saya pun hubungi SPNB mereka pun tidak tahu bila mereka akan mula balik. Saya mohon bahawa Pengerusi Jawatankuasa Perumahan usaha untuk bangkit baliklah projek ini dan saya pun rela untuk kerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan untuk memulihkan projek ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, Yang Amat Berhormat juga menyentuhi mengenai pembangunan Modal Insan. Bangsa Johor adalah penduduk Malaysia di Johor yang terdiri daripada semua kaum iaitu Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Iban dan lain-lain. Kerajaan negeri mesti menyokong semua kaum daripada bangsa Johor, barulah bangsa Johor akan menjadi lebih prihatin dan bertanggungjawab serta akan berusaha sepenuhnya demi menjaga kesejahteraan negeri. Kerajaan negeri Johor mesti membantu semua masyarakat dari segi kebajikan, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan sebagainya. Perkataan bangsa Johor tidak bermakna jika bantuan tidak sampai kepada semua masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Yang Berhormat Puan Speaker, pengangguran sekarang midway COVID-19 ialah 13.9%. Ini satu perangkaan yang besar dan bermasalah dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun selalu menyentuhkan isu ini dan salah satu sebab Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun ada ulang ialah kemahiran pekerja dan kemahiran yang dimiliki oleh pekerja dan kemahiran yang diminta oleh majikan tidak sama, bukan, tidak kesepaduan. Inilah satu masalah besar. Untuk merapatkan jurang ini saya cadang bahawa pihak jabatan kerajaan khususnya ILP Institut Latihan Perindustrian kerja rapat dengan pihak swasta.
Seperti di Pulau Pinang, di Pulau Pinang ILP ada wakil-wakil syarikat besar multinasional dalam board mereka. Jadi bila mereka bina apa-apa silibus ataupun rancangan pelajaran, pandangan private sektor pun diambil kira dan mereka keluar dengan satu strategi pelan yang sangat berguna dan semua pelatih ILP dapat pekerjaan. Jadi saya minta bahawa di Johor pun kita ikut model yang sama di mana ILP dan multinasional company bekerjasama sebab akhirnya pelatih akan pergi ke syarikat-syarikat besar untuk kerja.
Jadi kita mesti tahu apakah permintaan mereka, apakah kemahiran mereka mahu, apakah skill mereka mahu. Kalau mereka boleh duduk sama-sama dengan ILP dan keluarkan satu silibus ini sangat berguna dan tidak apa-apa wastage dengan izin. Dan satu lagi ialah kalau kita kerjasama rapat dengan multinasional kita pun boleh dapat peluang internship iaitu murid boleh belajar satu tahun dan satu tahun lagi dia pergi practical lesson di syarikat dan akhirnya dia boleh mula kerja dengan syarikat itu juga, jadi inilah model kita kena pilih.
Setahu saya ILP dan multinasional tidak ada apa-apa hubungi sekarang, jadi ini harap boleh diubah.
Dan satu lagi perkara Puan Speaker, yang saya nak bangkit di sini ialah banyak kali majikan beritahu bahawa graduan kita tidak ada skill-skill teknik yang boleh ubah dengan teknologi, kebolehan untuk ubah dengan teknologi, sikap positif, pemikiran kreatif. Jadi skill-skill ini mereka cakap graduan kita kurang. Saya harap SMI dan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan boleh ambil kira perkara ini dan bila mereka menganjurkan kursus masuklah perkara kemahiran ini dalam silibus mereka.
Yang Berhormat Puan Speaker, perpaduan kaum dan komuniti juga disentuh oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Harap kerajaan negeri Johor melibatkan semua komuniti dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Kita semua Johorean. Oleh sebab itu dalam usaha latihan perniagaan, pekerjaan, pendidikan dan sukan semua komuniti perlu dipelawa dan dimasuk, diinklusif. Peruntukan yang diberi kepada Yayasan Sultanah Fatimah RM6 juta dan Yayasan Sultanah Rogayah RM4 juta. Dewan ini mesti pastikan peruntukan ini diurus secara telus, bertanggungjawab dan saksama, mesti ada akauntabiliti dan laporan, bagaimanakah tabung ini diuruskan.
Sebab golongan yang disasarkan oleh 2 Yayasan, mereka tidak ada bantuan-bantuan lain. Oleh sebab itu bantuan ini mesti diurus dengan lebih akauntabiliti, lebih ketelusan dan bertanggungjawab. Satu lagi ialah...
YB Bekok sila gulung.
Satu taskforce untuk masyarakat India pun ditubuhkan harap taskforce ini dianggotai oleh orang profesional dan berpengetahuan. Yang Berhormat Puan Speaker, jalan raya dan jambatan. Permohonan untuk satu jalan, kami pun ada bincang banyak kali iaitu satu jalan yang berhubung Bekok dengan Pekan Paloh. Banyak kali sudah kita boleh bincang tetapi dalam Bajet 2021 tidak dimasukkan dan saya diberitahu balik oleh Pengerusi JKR bahawa ini telah dimasuk dalam RMK-12. Harap kerajaan negeri ambil berat perkara ini dan Puan Speaker.
Isu Governance Johor satu perkara yang disentuh oleh Menteri Besar juga iaitu isu Governance Johor meningkatkan kecekapan integriti dan memenuhi aspirasi rakyat. Bekok cadangkan bahawa Dewan sidang ini boleh juga tubuh jawatankuasa untuk mempastikan kemiskinan, jawatankuasa untuk meningkatkan persembahan agensi kerajaan, badan berkanun dan anak syarikat. Ini ialah untuk membantu perjalanan negeri Johor.
Last sekali Puan Speaker ialah landasan berkembar elektrik Gemas – JB. Landasan ini dimulakan dalam tahun 2012 dan sedang berjalan dengan begitu pantas tetapi di sektor Labis iaitu ROB 8 dan ROB 11 ada banyak perkara mereka tidak ambil kira. Oleh sebab itu ada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk dan kami pun sekarang sudah lewat sebab projek ini sudah lama dimulakan. Kami pun ada cadangkan alternative road walaupun kontraktor setuju pada awal, tetapi bila kerajaan tukar tahun ini mereka tak mahu tukar, mereka go back the original plan dengan izin. Jadi haraplah, harap kontraktor ambil kira kebaikan rakyat penduduk di Labis dan juga oleh sebab...
YB Bekok.
Gulung, saya gulung.
Sampai masa 24 minit.
Oleh sebab landasan double track ini, pengaliran air pun ada masalah sebab mereka pun tidak ambil kira pengaliran air, jadi banyak tempat ada banjir kilat bila hujan lebat, jadi harap JPS dan YTL bincang dan cari jalanlah untuk macam mana kita boleh alirkan air yang naik bila hujan kuat. Itulah point yang saya nak berikan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Pulai Sebatang, jemput.
Bismillahirahmanirahim, Assalamulalaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, terlebih dahulu saya ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda pada 22 November 2020. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Johor JDT yang dipimpin oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super bagi musim yang ke 7 berturut-turut.
Puan Speaker, alhamdulillah terima kasih atas ruang berbahas yang telah diberikan di kesempatan ini saya ingin menyampaikan ucapan jutaan terima kasih kepada para front liners yang bertungkus lumus siang dan malam menjadi petugas barisan hadapan dalam membantu bangsa Johor di negeri ini secara khususnya di Malaysia secara umumnya, dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda negara kita. Semoga budi jasa dan bakti tuan puan hanya Allah jua yang mampu membalasnya.
Yang Berhormat Puan Speaker, pada hari Khamis 26 November yang lalu kita telah mendengar pembentangan Belanjawan Johor 2021 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Kita tidak menafikan banyak juga usul program baik yang memberi tumpuan kepada usaha memerangi suasana ekonomi yang mencabar di negeri ini. Namun terdapat beberapa perkara yang ingin saya sentuh antaranya:
1. Berkenaan dengan kesihatan 2. Agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor dan Johor Tani 3. Agro pelancongan 4. Kelestarian, dan 5. Pendidikan
Yang Berhormat Puan Speaker, pertamanya ingin saya bangkitkan ialah berkenaan program Kad Sihat Johor yang tidak lagi diteruskan. Perkara ini telah pun dibangkitkan YB Penggaram dan Bukit Naning semalam. Namun saya ingin menambah sedikit program Kad Sihat ini, Kad Sihat Johor yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2019 ini memberi manfaat kepada 14,000 penerima terutamanya dari golongan B40 pada tahun pertama pengenalannya. Manakala dalam pembentangan Belanjawan Tahun 2020 penerimanya dipertingkatkan sekali ganda iaitu dengan 28,000 keluarga dan 19,000 individu dengan peruntukan awalan sebanyak RM2 juta. Mesti pun dengan jumlah amaun RM500.00 bagi setiap kad untuk keluarga dan RM200.00 bagi untuk individu ini dilihat sebagai kecil namun inisiatif seperti ini akan meringankan beban kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ini kerana ada golongan yang mampu bergantung, hanya mampu bergantung untuk mendapat rawatan di klinik awam. Dalam usaha suasana pandemik COVID-19 yang melanda negara, manakala kita lihat operasi di pusat khidmat tertumpu kepada usaha menangani penularan penyakit ini. Sudah tentu dengan adanya Kad Sihat tersebut akan dapat memberikan ruangan kepada penerima dari golongan tidak berkemampuan menikmati manfaat seperti mereka yang lain. Dalam masa yang sama melalui Kad Sihat Johor, ia dapat mengurangkan pergantungan pemegang kad untuk hadir ke pusat kesihatan awam dan mendapatkan rawatan di pusat kesihatan swasta. Ini sekali gus akan dapat
mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan awam. Cadangan saya agar Program Kad Sihat Johor ini diteruskan dengan jumlah peruntukan dan penerima manfaat yang dipertingkatkan. Manakala klinik panel yang terlibat dengan program ini perlu dan turut ditambah sesuai dengan keperluan penjagaan kesihatan sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Sekiranya Program Skim Pemberian Air Percuma sebanyak 10 meter padu kepada golongan B40 negeri Johor ini diteruskan, apa salahnya jika Program Kad Sihat ini juga diteruskan. Tidak jauh berbeza dari topik yang sama melihat kepada perkara ke-219 iaitu berkaitan dengan Kelestarian Alam Sekitar dan Kesihatan. Hal-hal berkaitan kesihatan sangat sedikit disentuh dan diberi peruntukan sewajarnya dalam belanjawan kali ini. Kita perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negeri Selangor, berlaku peningkatan kes COVID-19 yang mendadak. Barangkali dengan mengambil iktibar dari apa yang berlaku kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM56.5 juta untuk peruntukan kesihatan secara keseluruhan bagi tahun 2021. Jumlah ini mencatatkan peningkatan 23% berbanding peruntukan kesihatan dalam belanjawan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM46 juta.
Selain itu, saya ingin bertanya adakah kerajaan Johor ada merancang untuk mengadakan ujian-ujian saringan COVID-19 secara bersasar terutamanya di Mukim atau kawasan yang mengalami peningkatan yang mendadak bagi kes COVID-19? Buat masa ini mungkin tidak berlaku peningkatan kes yang serius melainkan beberapa mukim yang ditandakan sebagai zon merah berikutan kes aktif melebihi 40. Minta dijauhkan, namun pada masa akan datang tidaklah kita ketahui sekiranya berlaku peningkatan kes. Diharap ada suatu program tindak cepat yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Johor sekiranya berhadapan dengan suasana begini.
Dalam usaha bangsa Johor berhadapan cabaran ekonomi pada tahun hadapan, elemen paling penting iaitu human resource perlu disiapsiagakan. Ya, betul ekonomi negeri Johor pada waktu ini amat penting, namun perlu diingat kata orang tubuh yang sihat, otak yang cergas. Justeru itu, perkara yang berkaitan dengan kesihatan itu perlu diberi tumpuan. Selain itu, kempen-kempen kebersihan bagi mengelakkan penyakit bawaan, penerangan mengenai penjagaan kesihatan melibatkan warga emas, golongan OKU, orang asal dan mereka di kalangan bangsa Johor. Mereka perlu diberi tumpuan. Saya kira sektor ini perlu diberikan penekanan, pertimbangan dan sekiranya perlu, peruntukan sektor kesihatan ini perlu ditambah dengan sewajarnya.
Yang kedua yang ingin saya sentuh adalah mengenai Agenda Jaminan Bekalan Makanan negeri Johor dan Johor Tani. Agenda Bekalan Makanan tentunya berkait rapat dengan pertanian dan penternakan. Di kalangan orang muda hari ini bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, bidang pertanian telah menjadi trendy dan cool. Ia bukan berkait rapat dengan kesedaran anak muda mengenai isu kelestarian alam sekitar dan kepentingan tanah untuk pertanian dan bekalan makanan. Namun, ada sedikit masalah yang pernah berlaku itu pun saya kira tidak berapa lama dahulu iaitu cara bagaimana memasarkan hasil pertanian. Sebahagian kita tentu masih ingat kira-kira dalam bulan April atau Mei yang lalu tular satu video pengusaha nanas di Pontian yang tidak dapat memasarkan hasil tanamannya. Difahamkan masalah ini turut berlaku di Muar dan beberapa daerah lain. Di sini ekonomi digital dan ekonomi kreatif perlu berperanan. Kalau ada pemaju yang mampu mencipta satu aplikasi ‘e’ di telefon pintar bagi menghantar makanan siap dimasak, masakan tidak ada aplikasi boleh dibina bagi memasarkan produk tani ini. Diharap kerajaan Johor melalui agensi dan syarikat berkaitan kerajaan GLC boleh membantu menjana dan mengembangkan potensi perniagaan atas talian. Ia boleh dilakukan melalui kaedah geran start up melibatkan pembangun aplikasi dengan kerjasama syarikat penghantar barangan atau syarikat logistik kecil-kecilan di daerah-daerah. Melalui program ini mudah-mudahan petani di kampung-kampung kita tidak bimbang lagi kalau hasil tuaian tidak dibeli oleh
orang. Kalau kita lihat kerajaan pusat dalam pembentangan belanjawan 2021 ini baru-baru ini juga telah memperkenalkan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.
Difahamkan program ini menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan medium tanaman bernilai sehingga RM500.00 untuk setiap individu atau RM50,000.00 bagi setiap komuniti yang bakal memanfaatkan sebanyak 60,000.00 peserta. Manakala pelaksanaan projek pertanian organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta turut di umum dan dijangka memanfaatkan kepada 1,000 komuniti. Dalam perkara ini Johor kita jangan ketinggalan peruntukan ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya, kepimpinan masyarakat termasuk kita di Dewan yang mulia ini perlu melakukan scouting iaitu memantau dan melakukan tinjauan kalau-kalau ada di kalangan penduduk di kawasan kita turut mengadakan kebun komuniti. Dalam konteks pertanian moden dan terkini ini pelbagai kaedah digunakan seperti fertigasi, pharmaculture dan urban gardening. Kita perlu tahu bahawa di Singapura juga membenarkan penggunaan roof top atau bumbung di atas bangunan HDP mereka untuk diadakan kebun komuniti. Jika sekiranya Johor yang di anugerah tanah subur ini ada di kalangan rakyat yang berminat, mengapa tidak kita manfaatkan ruang-ruang tanah yang ada misalnya di kawasan bandar, pocket land dan mengoptimakan kaedah baru pertanian ini. Namun, tidak dapat tidak pembangunan aplikasi adalah penting. Distribution hasil tani atau ternak kepada produk hilirannya boleh dilakukan melalui maklumat yang diperolehi dari pihak berkaitan iaitu Jabatan Pertanian. Kerjasama mereka amat diperlukan. Saya harap agar kakitangan dari Jabatan Pertanian bersiap sedia dengan anjakan baru kesan dari program dari pusat dan negeri yang dirancang ini.
Merujuk kepada sektor yang sama, saya ada sedikit persoalan berkaitan perkara ke-71 iaitu Inisiatif Pengurangan 50% daripada Denda Ubah syarat Melalui Program Pemutihan Approval Over Submission (AOS) Pertanian kepada Pertanian Pokok. Inisiatif itu dikatakan untuk membantu pengusaha tanah bawah 10 ekar untuk memperoleh lesen Lembaga Minyak Sawit (MPOB) dan pensijilan Malaysia. Inisiatif ini terbuka bagi semua jenis pertanian pokok dan tidak terhad kepada mohon penukaran. Syarat nyata kepada kelapa sawit sahaja. Bagaimana sekiranya pengusaha tanah yang mahu mengubah tanah daripada kelapa sawit kepada tanaman jenis lain? Apakah mereka juga tertakluk kepada bawah skim yang sama? Ini kerana wujud minat di kalangan pengusaha tanah yang mahu mengubah bentuk tanaman kepada yang lain seperti sayur-sayuran, buah-buahan. Namun mereka tidak dibenarkan berbuat demikian berikutan syarat guna tanah yang tertera di atas geran. Diharap pihak berkaitan boleh membantu pengusaha yang bersemangat ingin menjayakan agenda tani Johor.
Menyentuh usaha mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian melalui peruntukan RM500,000.00 bagi Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di Benut dan Kluang iaitu perkara ke-113. Saya ingin memberi sedikit cadangan iaitu agar Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian ini turut diwujudkan di kawasan Tenggara atau Utara Johor antara lokasi yang bersesuaian iaitu di Segamat dan Kota Tinggi. Di Segamat seperti mana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan dilaksanakan Program Agro-Mix Farm Fasa 2 dan Fasa 3 yang bersesuaian dengan maksud bagi program tersebut. Manakala di daerah Kota Tinggi diketahui sebagai daerah pertanian selain berdekatan dengan Johor Bahru yang memiliki potensi pemasaran dan permintaan hasil tani yang tinggi.
Yang Berhormat Puan Timbalan Speaker, saya ingin menyentuh yang ketiganya ialah saya ingin menyentuh perkara 64 yang merupakan sebahagian dari industri hiliran bagi sektor makanan dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan baru bernilai tinggi dalam bidang pertanian moden, agroekologi dan agro pelancongan. Di sini saya ingin tekankan mengenai agro pelancongan bersesuaian dalam sinergi dengan perkara 171 iaitu Program Majestic Johor. Sebelum ini di Johor tumpuan pelancongan adalah di kawasan bandar atau di lokasi pelancongan artificial atau pembuatan. Saya tidak menafikan peranan dan kepentingannya.
Namun semenjak penularan wabak COVID-19 dan kesedaran terutamanya kepada golongan muda mengenai peri pentingnya pemuliharaan alam sekitar maka agro pelancongan menjadi kegemaran sama ada pelancong domestik mahupun di luar bandar. Kita boleh merujuk kepada kejayaan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dalam usaha mereka meningkatkan pendapatan negeri dan negara melalui promosi agro pelancongan yang berterusan. Integrasi sektor pertanian dan agro pelancongan mampu membina hubungan harmoni antara pihak berkepentingan pelancongan dan masyarakat tempatan. Terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar, hari ini jika kita mempunyai yakin diri yang tidak mahu tidak rasa malu alah untuk belajar dari mereka yang berjaya melakukannya, tidak mustahil sektor ini mampu membawa pulangan yang lumayan dan berjangka panjang.
Namun, kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, PBT dan pihak swasta diharap boleh menggabungjalinkan usaha secara bersama untuk menjayakan agenda ini. Kalau dilihat baru-baru ini, setelah larangan rentas negeri, daerah ditarik balik pada Julai, kawasan rekreasi penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Di Kota Tinggi dilaporkan berlaku kesesakan jalan raya selama beberapa jam kerana orang ramai mahu pergi ke pantai atau pinggir sungai. Di kawasan Pantai Barat Johor pun begitu, di Batu Pahat, Muar dan Pontian. Ramai orang mengambil kesempatan untuk beriadah bersama keluarga. Itu adalah lokasi biasa yang dikunjungi. Sekiranya promosi secara giat dibuat kepada lokasi bertema konsep agro pelancongan di negeri Johor, saya rasa ia mampu menjana ekonomi di kawasan-kawasan ini. Manakala penduduk tempatan mendapat limpahannya.
Saya ada mengikuti satu saluran YouTube seorang pelancong Jerman yang terkandas di Malaysia akibat pandemik COVID-19. Nama saluran itu Kent Abott. Lebih seminggu warga Jerman ini ke kawasan-kawasan perkampungan di Johor termasuk di Pontian, Kampung Jerman, ke kebun, ke lokasi penternakan ikan, menyusuri sungai dengan bot dan beberapa tempat lain yang mungkin kita sendiri tidak pernah jejaki. Tontonannya tinggi mencecah puluhan ribu pada setiap video yang dimuat naik. Bagus juga ada pegawai dari pejabat Tourism Johor yang mengiringinya walaupun setelah separuh jelajah dilakukan. Cuma yang penting adalah latihan perlu dibuat kepada pemandu pelancong terutamanya kepada penduduk setempat tentang bagaimana cara untuk memberi penerangan serta fakta yang tepat selain muka manis dan cekap menjawab soalan-soalan ini agar pelancong agro tersebut lebih tersusun dan menarik.
Ada yang bertanya apa yang kita, apa yang akan terjadi sekiranya perintah PKP ini dikuatkuasakan? Apakah rancangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Tentu boleh. Di sinilah media berperanan, media baru seperti Facebook, Twitter dan Instagram juga boleh dikategorikan sebagai media arus perdana. Cuma jika berlaku penguatkuasaan PKPB di suatu kawasan perlu ada SOP yang standard yang sedia kala diketahui oleh ramai orang. Misalnya operasi pejabat Majlis Daerah, rumah ibadah, pasar-pasar dan sebagainya. Bagaimana pun orang-orang ramai mahu berurusan segala penerangan diberikan agar pematuhan dapat dibuat.
Yang keempat, mengenai Perkara 229 iaitu Penjagaan Ekosistem Flora Dan Fauna. Usaha yang terkandung dalam usul ini adalah baik projek santuari gajah GES Fasa Kedua, pemulihan biodiversiti penguatkuasaan eco ranger, program sifar sampah dan pemantauan bersama komuniti setempat ke atas kawasan pencerobohan di Taman Negara Johor, Gunung Ledang, semuanya bagus. Yang ingin saya tekankan di sini ialah konflik manusia-haiwan. Hampir setiap bulan sebelum ini, kita akan mendapat laporan mengenai gangguan pencerobohan haiwan liar ke atas kawasan pertanian dan penempatan manusia. Malah, ada beberapa insiden di Kota Tinggi pada tahun ini seperti berlakunya kemalangan melibatkan gajah dengan kenderaan menggunakan Jalan Kota Tinggi – Mersing. Kejadian ini turut dirakam video tular dan menerima komen dari orang ramai yang meminta agar langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah ini dapat dilakukan oleh kerajaan. Laluan
Kota Tinggi – Mersing diketahui merupakan habitat semula jadi mamalia ini. Malah mamalia ini telah lama mendiami kawasan itu sebelum diterokai oleh manusia. Atas semangat eko kelestarian alam dan hidup bersama saling menghormati, maka saya ingin mencadangkan sekiranya ada rancangan dari pihak Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Kerja Raya bagi menaik taraf laluan Kota Tinggi – Mersing dalam pembangunan akan datang. Maka pembinaan wildlife ride up ada langkah yang terbaik.
Menurut Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, terdapat beberapa jenis hidupan liar yang sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Antaranya Tapir Malaya, kera, babi hutan dan harimau dahan dalam kes di laluan Kota Tinggi – Mersing kemalangan melibatkan gajah liar sering berlaku. Justeru, salah satu usaha yang dilakukan oleh Jabatan PERHILITAN bagi mengurangkan berlakunya kadar kematian hidupan liar ialah dengan menubuhkan wildlife ride up. Wildlife ride up ini merupakan kaedah jalan raya yang dinaikkan lebih tinggi berbanding dengan jalan raya biasa bagi memudahkan hidupan liar menjadi melalui bahagian bawah. Wildlife ride up tersebut, ia juga berfungsi menggabungkan dua kawasan hutan bagi memudahkan hidupan liar mencari makanan di kawasan hutan. Oleh itu, risiko hidupan liar tersebut dilanggar kenderaan adalah rendah. Di Semenanjung Malaysia telah dibina 3 lokasi koridor hidupan iaitu di Sungai Deka, Terengganu, Sungai Yu, Pahang, di Grik, Perak. Lantaran itu, cadangan ini dimajukan kepada kerajaan…
Yang Berhormat Pulai Sebatang, sila gulung.
Lantaran, cadangan ini dimajukan kepada kerajaan negeri sekiranya wujudnya perancangan pada masa akan datang.
Yang terakhir, saya ingin menyentuh mengenai isu pendidikan bagi perhatian Perbahasan Belanjawan 2021 iaitu tentang keperluan untuk menambah baik liputan Internet. Ramai pelajar dan guru berdepan dengan masalah ini perlu ada sense of urgency dari pihak kerajaan untuk memastikan tiada pelajar yang tertinggal dalam pelajaran berikut, pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di rumah PDPR. Difahamkan sehingga 29 November 2020 mengikut Data Pelaporan PDPR Negeri Johor dari 332,247 PDPR yang dilaporkan hanya sebanyak 53.32% sahaja pelajar yang dilaporkan mengikuti pembelajaran secara online. Manakala, 25.33% yang mengikuti secara offline dan 21.11% tidak lagi mengikuti PDPR iaitu lebih kurang 70,137 orang pelajar. Ini satu jumlah yang besar sebenarnya dan perlu kita beri perhatian sebaiknya. Selain itu, isu yang dihadapi adalah sebanyak 143,441 kes dilaporkan bahawa pelajar menggunakan peranti milik ibu bapa mereka untuk menjalani kelas secara talian. Ini sebenarnya mengurangkan keselesaan kepada ibu bapa dan pelajar kerana ada pelajar yang terpaksa menunggu adik beradiknya selesai barulah dia dapat mengikuti kelas sendiri. Manakala, 62,735 kes tiada capaian Internet dan sebanyak 16,016 kes tiada peranti untuk mengikuti kelas atas talian. Alhamdulillah syukur, ada kalangan Wakil Rakyat dan Parlimen daripada pembangkang melancarkan beberapa inisiatif dari rakyat untuk rakyat di kawasan tertentu bagi mendapatkan sumbangan komputer riba dan peranti terpakai dari orang ramai yang kemudian diserahkan kepada pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke universiti. Ataupun bagi mengikuti kelas dalam talian, ada juga Pusat Khidmat yang menyediakan ruang dan penggunaan wifi percuma bagi anak-anak ingin mengikuti kelas dan pembelajaran. Namun itu hanya penyelesaian sementara yang dibuat di dalam komuniti. Justeru, apa tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan…
Yang Berhormat, masa sudah tamat.
Sikit lagi.
Sikit lagi?
Dalam memastikan bahawa pelajar dan guru dan ibu bapa dapat melalui suasana pembelajaran, pengajaran dalam sistem sokongan yang lebih kondusif. Diharap perkara ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan Johor.
Demikian Perbahasan dan pandangan yang saya ingin kemukakan. Semoga Belanjawan Tahun 2021 benar-benar dirasai oleh segenap masyarakat dan membawa sinar bagi rakyat di negeri Johor. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Kemelah, jemput.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker. Patik ingin memulakan perbahasan patik dengan merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020.
Jangkaan dunia belum bersedia apabila satu pandemik akan berlaku telah dinyatakan oleh seorang philanthropist, orang terkaya ketiga di dunia sehingga bulan November, pelopor syarikat Microsoft dalam satu program Pep Talk pada tahun 2015 bertajuk, Warns Of Pandemics Epidemics. Menurut beliau disebabkan oleh dunia yang semakin terangkai, connected world, dengan izin, pergerakan yang dimudahkan antara kawasan yang berdasar simulasi modul virus yang tersebar di dunia seperti selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918. Maka, satu jangkitan virus selesema dengan sifat-sifat bawaan udara atau airborne dengan izin, bakal menyebabkan merebak virus selesema ke seluruh dunia dengan pantas. Lalu menurut beliau, ini memungkinkan kematian sehingga 30 juta orang.
Di dalam berita portal CNN hari ini, kita lihat dalam satu dokumen yang terlepas keluar daripada negara China laporan berkaitan dengan pengurusan pandemik virus daripada bulan Oktober 2019 hingga April 2020. Kekalutan dan kecelaruan negara China menangani pandemik yang bermula di sana, di daerah atau wilayah Hubei dan sehingga kini kita dapati bahawa negara China masih lagi tidak membenarkan laporan rasmi berkaitan dengan penyebaran virus pada mula-mula pandemik bermula.
Pada bulan November, awal November di dalam satu wawancara Bill Gates meramalkan bahawa pasca COVID-19, perjalanan berkaitan dengan business travel dengan izin, atau perniagaan dunia akan menurun sebanyak 50%. Masa di pejabat pula dijangka dikurangkan sekurang-kurangnya 30%. Ini bermakna, work from home dengan izin, atau bekerja dari rumah akan menjadi satu kelaziman baru. Malah, apabila ditanya lagi beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi pandemik dalam masa yang terdekat. Mungkin 20 tahun lagi, mungkin 30 tahun lagi. Jadi, apabila berlaku COVID 2021, 2022 atau 2023, itu adalah satu kemungkinan yang kita perlu bersedia untuk menghadapi. Virus COVID-19 tidak mengenal siapa mangsa. Tidak mengenal warna kulit, umur, agama apatah lagi kedudukan dan pangkat. Virus COVID-19 apabila bertemu ataupun menjangkiti rakyat marhaen ia tidak menyerang sungguh-sungguh, ia tidak maknanya menyerang dengan bersungguh ataupun maknanya ialah apabila bagi VIP ia akan bagi kelonggaran tidak akan diserang ataupun dikecualikan dari diserang. Itulah sunnatullah dan hukum alam. Adil pada semua tanpa memilih kasih.
Kita lihat kes bagaimana Presiden Donald Trump sendiri apabila dia sendiri tidak mengamalkan kelaziman baru, melakukan penjarakan dan mengamalkan pelitup muka,
telah dijangkiti COVID-19. Sehingga menyebabkan kandungan oksigennya menurun dalam sebanyak sekurang-kurangnya 2 kali. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil Lagi Maha Mengetahui.
Kemelah ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Johor 2021, bertemakan “Berdaya Tahan Demi Kemakmuran”. Bencana pandemik COVID-19 bukan hanya memberi kesan terhadap ekonomi, kesihatan dan kematian manusia malah akibat dari perintah berkurung hilang pekerjaan dan punca pendapatan telah menyebabkan meningkat tekanan emosi terhadap manusia. 2, 3 hari lepas kita lihat di Jepun, peningkatan yang begitu mendadak dalam bulan Oktober mereka yang membunuh diri dan jumlah itu adalah tertinggi sejak bulan Mei 2015. Maknanya di Jepun, kematian disebabkan oleh tekanan adalah lebih tinggi daripada kematian disebabkan oleh COVID-19.
Menurut statistik, di negara kita sejumlah 29,890 kes penceraian telah berlaku dalam tempoh 1 Januari 2020 sehingga 31 Julai 2020 di seluruh negara. Johor mencatatkan kes penceraian yang kedua tertinggi iaitu sebanyak 3,354 setelah Selangor. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Muhammad Naim Mokhtar, kerapuhan institusi keluarga adalah punca kepada bilangan kes penceraian yang tinggi. Apabila kita membicarakan tentang ketahanan, maka antara perkara yang paling penting di dalam menghadapi bencana COVID-19 adalah ketahanan mental.
Beberapa rakan ADUN telah pun menyentuh perkara ini dan YB EXCO Kesihatan juga telah memberi jawapan inisiatif yang telah dibuat pagi tadi. Saya menyarankan agar semua agensi utama bekerjasama dan kerajaan negeri memberi peruntukan yang bersesuaian untuk melihat perkara ini agar isu ketahanan mental menghadapi pelbagai cabaran yang ada ini dapat ditangani dengan baik.
Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin menyentuh berkaitan dengan pemulihan ekonomi Johor pasca COVID-19, rancangan dan pembangunan ekonomi bukan hanya mesti mampan ia juga harus seimbang dan adil kepada semua. Adil bukan bererti membawa maksud sama rata tapi memberi hak kepada yang berhak, menerima dan tidak menzalimi mana-mana pihak yang lain. Kemelah berpandangan pembangunan wilayah-wilayah amat baik dari segi perancangan. Malangnya ia masih lemah di dalam pelaksanaan. Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah begitu baik jika kita membacanya. Namun Kemelah berpandangan ia masih jauh menepati sasaran di dalam pelaksanaan.
Belanjawan tahunan negeri dan peruntukan dari persekutuan seharusnya mengukur pelaksanaan rancangan-rancangan tersebut, secara saksama antara wilayah agar tiada wilayah dan daerah yang terpinggir. Kemelah ingin membawa beberapa data berkaitan dengan ketidakseimbangan antara wilayah. Sebagai contohnya kita lihat membuat perbandingan pendapatan kasar bagi Majlis Bandaraya Johor Bahru apabila digabungkan dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang berada di wilayah Selatan dengan dibandingkan dengan 2 Majlis Daerah, Majlis Daerah Labis dan Majlis Perbandaran Segamat.
Pada tahun 2016 bezanya ialah sebanyak 14 kali ganda, maknanya ialah Wilayah Selatan, Majlis Bandaraya di sebelah Selatan adalah 14 kali ganda pendapatannya berbanding dengan di dalam daerah Segamat. Dalam 2017 ia adalah 54 kali ganda, jadi saya Kemelah mengharapkan bahawa perkara yang sebegini penting perlu dilihat agar jurang tidak begitu jauh antara pembangunan wilayah. Akibat dari pembangunan yang tidak seimbang ini kita lihat penghijrahan dan pertumbuhan pendudukan berlaku ke kawasan yang pesat membangun seperti di Wilayah Iskandar dan Pengerang.
Pembangunan Johor bersekitar Wilayah Iskandar Malaysia telah menyebabkan peningkatan penduduk di Wilayah Iskandar pada tahun 2013, 52% dari seluruh penduduk Johor berada di dalam kawasan Wilayah Iskandar. Dan pada tahun 2018 ia meningkat ke 57.6 %. Ini bermakna bahawa penghijrahan golongan muda dan belia berlaku ke kawasan-kawasan yang rancak pembangunannya meninggalkan daerah yang tidak rancak yang tidak dapat memberi peluang pekerjaan yang baik. Jadi sekali lagi Kemelah menyeru kerajaan negeri untuk memastikan keseimbangan dalam pembangunan di antara wilayah.
Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin menyentuh berkaitan dengan Digital Johor dan pembangunan ekonomi gelombang kedua melalui ekonomi digital. Jurang pembangunan ekonomi antara wilayah akan dimangkin oleh jurang digital atau digital divide, dengan izin. Kemelah mencadang agar penanda aras dalam keadaan data asas based line data dengan izin, disediakan di samping perancangan menaik taraf dalam tempoh tertentu, dalam bentuk peta yang mudah difahami oleh orang ramai. Setakat ini antara maklumat peta visual yang memaparkan ketersambungan ke Internet atau Internet connectivity PBT adalah laman NPER.COM yang memberi gambaran litupan ataupun coverage dengan izin dan kelajuan Internet. Kita boleh lihatnya khusus untuk negeri Johor. Dalam peta visual yang diperolehi menunjukkan litupan selain Unifi 4G dan 4G Plus tertumpu di jajaran lebuh raya PLUS Utara – Selatan dan jalan-jalan utama seluruh Johor.
Data tersebut yang dikemas kini sehingga 27 November 2020 dapat kita lihat melalui laman tersebut. Paparan peta visual juga ditunjukkan bagi litupan dan kelajuan cellular yang disediakan YES 4G, Celcom Digi, Maxis Mobile, U-Mobile. Jadi memang daripada peta visual kita akan dapati bahawa kawasan-kawasan luar bandar memang terpinggir dari segi data ketrangkuman dan kesediaan Internet.
Selain dari infrastruktur digital kandungan dan perkhidmatan digital juga amat penting sama ada bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan juga untuk e-Perdagangan. Kos pelesenan amat tinggi bagi perisian komersial, Kemelah mencadang agar kerajaan dan agensi mula menerokai perisian sumber terbuka atau open source sebagai alternatif bagi menjimatkan kos perolehan dan juga kos penyelenggaraan.
Seterusnya Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin menyentuh secara khusus berkaitan dengan pembangunan daerah Segamat. Sejak Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14 Kemelah telah membangkitkan isu infrastruktur asas termasuk bekalan kuasa elektrik di Zon Industri Pelabuhan Darat Segamat. Ini adalah untuk memberi peluang pelaburan di daerah Segamat lalu mengujudkan peluang-peluang pekerjaan di sana.
Pada awal sesi Dewan, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Utiliti ketika itu telah memaklum bahawa TNB akan melaksanakan pembinaan sebuah PPU baru dalam jangkaan tempoh siap 24 bulan iaitu akan siap pada tahun 2021. Malangnya ia ditunda ke 2022 dan apabila Kemelah bertanyakan dalam bulan September, menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur dalam Sidang Dewan iaitu projek Mobile PPU di Pelabuhan Darat Segamat bakal siap pada penghujung bulan September.
Dan apabila Kemelah membuat susulan kepada pihak TNB, pihak TNB memaklum bahawa projek itu dijangka siap commissioning dengan izin pada 17 November. Malangnya selepas 17 November dan susulan Kemelah pada TNB, pihak TNB terus sunyi tanpa jawapan. Kemelah mengharapkan perkara ini diambil secara serius untuk memberi peluang-peluang baru, peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang tinggal di dalam daerah Segamat.
Yang Berhormat Puan Speaker, Kemelah ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar yang telah meningkatkan peruntukan ADUN
Pembangkang. Namun berdasar pengalaman sebagai ADUN Kerajaan sebelum ini peruntukan ini bukan mudah untuk diguna pakai kerana ia terikat dengan pelbagai peraturan dan sebagainya.
Sebagai contohnya apabila ingin Kemelah melaksanakan satu inisiatif iaitu projek perintis menggunakan tuai hujan bagi mengganti air terawat, mengepam tandas-tandas di salah satu masjid di dalam DUN Kemelah. Melalui peruntukan yang ada pada masa itu Kemelah menghadapi masalah kerana kontraktor yang dilantik itu tidak faham, tidak tahu tentang projek tersebut. Jadi Kemelah sendiri terpaksa turun beberapa kali bincang dengan kontraktor, berdasarkan pengalaman Kemelah melaksana projek itu di rumah sendiri, bagaimana projek itu patut dilaksanakan. Jadi ini adalah projek perintis yang Kemelah harap jika ia berjaya kita boleh laksanakan di masjid-masjid lain. Tidak guna kita mengguna air terawat hanya untuk mengepam tandas-tandas di masjid.
Seterusnya Kemelah ingin menyentuh berkaitan dengan isu pelaksanaan projek-projek di bawah Belanjawan Johor 2021. Antara cabaran utama pelaksanaan Belanjawan Johor 2021 adalah kecekapan dan ketersediaan pegawai-pegawai kerajaan negeri sama ada di peringkat agensi atau daerah bertindak balas dengan baik terhadap pelaksanaan insentif dan projek yang bakal di laksana. Cabaran bagi pegawai kerajaan negeri adalah pertukaran yang kerap berlaku dalam satu tempoh yang singkat memegang jawatan. 6 bulan baru nak faham isu dan 6 bulan lepas tu dah ditukarkan ke jabatan lain. Jadi ini adalah satu cabaran yang besar.
Oleh itu Kemelah amat mengalu-alukan inisiatif di bawah kerajaan negeri, di bawah Agenda Governance Johor untuk mengujudkan Penubuhan Akademik Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor. Di dalam masa yang singkat ini sebelum Kemelah menutup ucapan perbahasan Kemelah, Kemelah ingin sama-sama kita merenung kata-kata Barack Obama dalam suratnya yang ditinggalkan kepada Donald Trump semasa peralihan Presiden ke-44 ke Presiden ke-45.
Dengan izin sebahagian daripada suratnya berbunyi, “Sir, we are just temporary occupants of this office. That makes us guardians of those democratic institutions and traditions, like rule of law, separation of powers, equal protection and civil liberties. That our forebears fought and bled for, regardless of the push and pull of daily politics, its up to us to leave those instruments of our democracy at least as strong as we found them.”
Maka kita sebagai Wakil Rakyat seharusnya terus memastikan bahawa nilai-nilai demokrasi, suara rakyat akan terus terpelihara. Akhir kata sama-samalah kita menyahut seruan.(Ayat al-Quran). Berlumba-lumbalah dalam membuat kebajikan, dan Kemelah ingin mengakhiri dengan Wabillahitaufiqwalhidayah, Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Panti jemput.
Bismillahrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat petang, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1422 Hijrah.
Pertamanya tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hasni Muhammad, Menteri Besar Johor serta kepimpinan kerajaan negeri atas satu pembentangan Belanjawan Johor 2021 yang lebih baik. Diharapkan belanjawan ini dapat menutup kelompongan yang banyak sejak 2 tahun kebelakangan ini, di samping cabaran wabak COVID-19 yang meletakkan Johor
pada satu persimpangan dalam membuat keputusan besar bagi memastikan Johor berdaya tahan demi kemakmuran semua. Keduanya Panti mengambil peluang pada hari ini untuk sekian kalinya mengucap setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang tidak berhenti untuk membantu masyarakat dalam kita mendepani wabak COVID-19 hari ini.
Setinggi penghargaan juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan semua Yang Berhormat EXCO serta kepimpinan penjawat awam Johor yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik membantu mereka yang terkesan khususnya di kawasan Panti. Sejak wabak melanda banyak inisiatif yang dilaksanakan sama ada melalui kami wakil rakyat, saluran kerajaan lain seperti pejabat daerah dan NGO seperti Majlis Belia dan sebagainya. Semua ini banyak membantu walaupun mungkin bantuan yang diberi sangat pelbagai dan kadang kala tidaklah banyak mana tetapi ianya sentiasa ada dan secara tidak langsung memberi semangat serta keyakinan rakyat tentang keprihatinan kerajaan terhadap rakyatnya.
Yang Berhormat Speaker, dalam perbahasan pada hari ini, Panti ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan sesuatu untuk difikirkan dan dilaksanakan. Perkara yang ada secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya di Panti. Di dalam pembentangan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, agenda pertama yang dinyatakan dengan peruntukan besar sebanyak RM51 juta ialah agenda Johor Tani. Ini merupakan satu pendekatan berani dan ianya bukan sahaja perlu dilaksanakan di peringkat negeri malah ianya perlu diangkat dan dijadikan agenda di peringkat nasional. Salah satu komponen utama dan perlu penelitian khusus dalam agenda ini adalah Program Jaminan Bekalan Makanan. Pandemik hari ini telah mendedahkan rantaian bekalan makanan ini dalam keadaan terancam dan perlu diambil perhatian.
United Nation World Food Programme dengan izin, pada Julai 2020 memberi amaran bahawa sebanyak 265 juta orang seluruh dunia akan mengalami ancaman ketidakcukupan bekalan makanan pada akhir tahun ini. Angka ini adalah sebanyak 2 kali ganda sebelum wabak COVID-19 melanda. Maka, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, perlu menggembleng semua sumber bagi mengerakkan dan meningkatkan produksi makanan domestik dengan bantuan dan komponen teknologi baharu, teknologi pintar dan jaringan pertanian baharu. Itulah yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis lepas yang memberi tumpuan kepada perkara ini. Sudah tiba masanya, kita negeri Johor mengurangkan kebergantungan kepada negeri lain dan negara luar dalam mendapatkan bekalan makanan.
Yang Berhormat Speaker, di bawah Agenda Johor Tani ini juga melalui pelbagai program termasuk Program Pemilikan Teknologi Mekanisasi atau Automasi, ianya bukan sahaja membantu dari segi peningkatan produktiviti hasil tanaman, malah satu pencapaian yang kita tunggu dan akan lihat adalah peningkatan penglibatan golongan orang muda dalam sektor pertanian. Sektor pertanian yang sebelum ini dilihat tidak seksi, tidak menarik akan dilihat sangat selari dengan trend dan orang muda tentunya akan lebih berminat. Ini satu usaha yang perlu kita sokong dan kita jayakan bersama.
Yang Berhormat Speaker, satu lagi agenda penting yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini adalah tentang Johor Digital. Di dalam suasana pandemik hari ini semua maklum bahawa kegiatan ekonomi tidaklah selancar atau semudah sebelum ini. Kesan dari kegiatan ekonomi yang tersekat-sekat maka secara tidak langsung sumber pendapatan negeri juga tidak menentu. Ditambah dengan penutupan sempadan ke Singapura dan juga keadaan rakyat yang memerlukan bantuan contohnya rebat cukai dan lain-lain, menjadikan kerajaan tidak boleh berharap dengan sumber pendapatan yang konvensional. Maka Panti lihat, dengan tumpuan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang Johor Digital ini banyak peluang sebagai sumber baharu dan ekonomi baharu yang kerajaan dapat
dan perlu teroka. Cara hidup masyarakat waktu dan pasca COVID-19 sangat berbeza dan ianya mencipta gelombang baharu kepada semua jenis perniagaan dalam semua industri waktu ini. Model perniagaan business to business, transaksi antara satu peniaga dengan peniaga lain, business to consumer, transaksi yang biasa antara peniaga dan pengguna, consumer to consumer, transaksi antara pengguna dengan pengguna lain yang mungkin menawarkan perkhidmatan secara sambilan bagi menambah pendapatan pasti akan lebih relevan. Perniagaan yang berubah dan terpaksa berubah dalam memenuhi permintaan ini sudah tentu akan dapat bertahan malah memberi keuntungan yang berlipat ganda. Contohnya, kalau sebelum ini kita lihat keadaan penglibatan pengguna atau masyarakat tentang pembelian atas talian atau penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan sangat rendah. Tetapi apabila berlakunya wabak, ianya sangat cepat berkembang dan memberi peluang ekonomi yang secara tidak langsung menyumbang kepada negeri dan negara. Ini contoh-contoh yang terjadi yang dapat kita lihat secara langsung pada hari ini.
Yang Berhormat Speaker, mengikut beberapa artikel yang ditulis di peringkat antarabangsa, sekurang-kurangnya ada 30 peluang perniagaan berpotensi baharu dan tinggi permintaan wujud dalam suasana pada hari ini. Antaranya dengan izin, online games, virtual atau augmentedreality, telehealth, onlineretail, digital signature, cyber security video conferencing, on demand dan online entertainment dan lain-lain. Dan semua ini, serta banyak lagi adalah terangkum dalam apa yang kerajaan bentangkan pada hari ini iaitu Agenda Johor Digital. Panti yakin dengan tumpuan yang diberi berkaitan Agenda Johor Digital ini, kerajaan negeri akan dapat merancakkan kegiatan ekonomi melalui perkara ini yang mana ini akan menggerakkan rantaian ekonomi itu sendiri dan secara langsung memberi penempatan yang konsisten serta dalam waktu jangka masa yang panjang. Kalau pada tahun 2018, Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) mensasarkan bahawa ekonomi digital akan menyumbang lebih dari 20% keluaran dalam negara kasar (KDNK), Panti yakin dengan suasana dan permintaan tinggi tentang ekonomi digital waktu ini, ianya akan lebih daripada itu.
Yang Berhormat Speaker, agenda yang Panti lihat mendapat maklum balas positif dari rakyat ialah agenda Johor Berkebajikan. Syabas kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas usaha ini, seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa membentangkan agenda ini ianya bukanlah yang terakhir. Sudah pasti akan diperbaharui dan ditambah baik dari masa ke semasa. Salah satu komponen dalam agenda ini adalah pemberian wang tunai one-off sebanyak RM100.00 kepada pelajar sekolah. Panti yakin ia sedikit sebanyak membantu dalam ibu bapa bersedia bagi penggal persekolahan tahun hadapan. Cuma mungkin perlu dilihat tentang bagaimana dapat membantu ibu bapa yang mempunyai kekangan dari segi peranti bagi sesi pembelajaran atas talian. Pembelajaran yang Panti rasa dalam masa ini dan mungkin akan datang adalah sebahagian besar dari proses pembelajaran di sekolah-sekolah. Contoh, Peranti adalah laptop dan telefon pintar dan mungkin mesin pencetak untuk mencetak bahan-bahan tugasan yang diberi oleh guru. Ianya mungkin tidak menimbulkan masalah jika bilangan anak hanya seorang atau dua orang. Tetapi, jika anak sehingga 5 atau 6 orang sememangnya akan menimbulkan masalah yang ketara. Dan hari ini, kalau kita baca dalam online news portal FNP, bawah tajuk 3 to learn but 5 sisters let down by one week data line. Kita akan lebih faham apa yang Panti cuba sampaikan.
Perkara ini Panti lihat ada juga dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat sama ada dalam perbahasan mahupun dalam sesi soal jawab lisan. Laporan media ada menerbitkan dapatan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyatakan 37% daripada 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara, lebih kurang 1.7 juta tidak mempunyai peranti yang diperlukan. Angka ini tidak termasuk pelajar yang menuntut di matrikulasi atau IPT awam dan swasta. Ini satu angka yang besar dan perlu diberi perhatian serius. Maka, Panti ingin memberi cadangan selain daripada inisiatif yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO sebelum ini, Panti cadangkan kerjasama kerajaan dengan
swasta untuk pembelian peranti yang diperlukan secara mudah dengan rebat atau secara ansuran dilaksanakan.
Yang kedua, mungkin kita memberi kebenaran kepada mereka yang betul-betul susah, untuk datang ke sekolah mengikut SOP untuk menggunakan kemudahan di makmal komputer bagi sesi pembelajaran atas talian.
Yang Berhormat Speaker, agenda seterusnya yang Panti ingin sentuh adalah agenda Modal Insan. Banyak inisiatif yang dicadangkan di bawah agenda ini yang Panti rasa mampu untuk memastikan aspek modal insan di Johor dapat diurus dengan baik. Cuma pada hari ini, Panti ingin berkongsi secara ringkas satu cadangan yang dibuat untuk belanjawan persekutuan. Dan pada pandangan Panti, satu cadangan yang boleh difikirkan untuk disesuaikan dengan kita di Johor. Perlaksanaan cadangan ini bolehlah dilaksanakan melalui beberapa GLC di peringkat negeri. Cadangan tersebut adalah untuk melaksanakan Skim Jaminan Pekerjaan yakni, kerajaan membelanjakan sejumlah kewangan melalui beberapa GLC untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti membina ekonomi dalam masyarakat yang kita mahukan. Antara contoh yang diberi adalah dari sudut digitalisasi yang selari dengan perancangan kita pada hari ini. Berapa banyak data sebagai contoh, di jabatan seperti PTG, pejabat-pejabat daerah dan lain-lain yang masih menggunakan sistem pemfailan manual. Bayangkan dengan tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen tertentu bagi segi indexing atau mendigitalisasi peta dan sebagainya. Banyak lagi contoh yang diberi dan ada lagi maklumat yang boleh memberi penerangan tentang perkara ini. Cuma atas kesuntukan masa, Panti bersedia untuk bersama dengan pihak kerajaan melihat perkara ini dengan lebih mendalam jika diperlukan.
Yang Berhormat Speaker, agenda-agenda lain seperti Agenda Masyarakat Desa Johor juga adalah satu perkara yang sangat baik. Panti merasakan banyak manfaat untuk rakyat khususnya dari Panti dalam agenda ini kelak. Begitu juga dengan agenda Majestic Johor. Satu usaha yang tepat pada masanya waktu ini. Ketika sempadan tidak dibuka dan walaupun akan dibuka kelak, namun Panti percaya akan ada banyak proses yang perlu dilalui. Ini membuka satu ruang bagi produk pelancongan tempatan untuk maju dan berjaya. Panti mohon agar produk pelancongan di Panti antaranya seperti Air Terjun Kota Tinggi, Gunung Panti dan Muntahak Raft Point Adventure dan yang terkini mungkin tahun hadapan adalah Santuari Gajah. Ini memberi sumbangan pendapatan tambahan kepada penduduk Panti amnya dan perkampungan sekitar khususnya. Cuma di bawah agenda Johor Madani, Panti mohon agar Santuari Gajah ini dapat disempurnakan pada tahun hadapan tanpa ada penangguhan lagi. Isu keselamatan nyawa dan harta benda merupakan isu yang berkait rapat dengan Santuari Gajah ini.
Yang Berhormat Speaker, dalam kita merencana dan meneroka sumber baharu dan berpotensi hari ini, Panti percaya kerajaan juga mahu melihat semua lapisan masyarakat mendapat faedah dari sumber-sumber ini. Hari ini, waktu kita sedang bermula inilah masa terbaik untuk memastikan adanya perkara-perkara yang dapat melindungi kebajikan sama ada penggiat industri khususnya dan pengguna umumnya. Salah satu aspek ialah aspek perlaksanaan. Contoh yang perlu dilihat adalah dalam kita menjayakan usaha yang baik seperti Johor e-Marketplace dengan kerjasama Shopee. Selain Shopee mungkin kerajaan dapat mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan pemain industri lain seperti Grab iaitu Grab food, Grab Mart atau Food Panda iaitu Food Panda Delivery dan Food Panda Shop. Cuma, Panti mohon untuk kita lihat agar ada pemantauan dibuat. Contohnya, kalau kita lihat kebajikan peniaga yang rata-rata adalah peniaga kecil mereka dikenakan caj sehingga 30% dari jualan dan ini membuatkan harga mereka akan berbeza jika dijual di atas talian untuk delivery berbanding harga dijual secara offline. Kadang-kadang ada rungutan yang Panti terima. Pemain industri ini juga mengadakan promosi yang memotong terus keuntungan yang mereka perolehi. Ini menyebabkan walaupun ada jualan di atas talian,
mereka terpaksa memberhentikan perkhidmatan kerana keuntungan yang tidak setimpal dengan usaha dan perniagaan yang mereka lakukan di atas talian. Akhirnya mereka terpaksa berbalik dan bergantung kepada jualan seperti sebelum ini secara offline tapi perniagaan secara biasa ini bergantung sepenuhnya dengan keadaan dan kebenaran untuk membuka gerai atau kedai yang tidak menentu seperti naik turun kes wabak COVID-19. Kalau ini terjadi, tidak mustahil daya tahan usahawan kecil ini akan menurun dan terpaksa menutup perniagaan mereka.
Contoh kedua adalah tentang perlaksanaan Johor Wifi 2.0. Ianya perlu dilihat untuk dua objektif. Yang pertamanya adalah sebagai satu kemudahan capaian Internet secara percuma dan kedua adalah sebagai kemudahan capaian Internet bagi kawasan yang sememangnya waktu ini tidak ada akses langsung atau akses yang sangat lemah. Sebagai contoh, di kawasan Panti sendiri iaitu di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan Panti yakin banyak lagi perkampungan lain di luar bandar yang mengalami masalah yang sama. Perkara ini berulang kali diajukan kepada pihak syarikat telekomunikasi tetapi tidak mendapat balasan dan reaksi sewajarnya. Mungkin tiada nilai komersial yang tinggi di kawasan tersebut. Maka intervensi kerajaan amatlah diperlukan waktu ini, sama ada perbincangan dengan syarikat telekomunikasi untuk meluaskan capaian di mana penduduk luar bandar ini bukanlah hendak perkhidmatan itu secara percuma, tetapi perkhidmatan dan sanggup membayarnya. Atau dengan inisiatif lain, inisiatif yang telah dicadangkan iaitu Johor Wifi inilah, tetapi ia perlulah memberi tumpuan dan keutamaan kepada kawasan-kawasan seperti ini. Perkara seterusnya dalam aspek pelaksanaan agenda-agenda ini ialah bagaimana isu pengurusan data dapat diatasi. Panti melihat setiap agenda ada memperkatakan tentang pengurusan dan pembangunan data dan ia sememangnya diakui sangat penting. Langkah pertama yang perlu dilakukan mungkin ada kolaborasi dan perkongsian data antara agensi negeri serta perkongsian data antara agensi kerajaan pusat dan negeri. Ianya perlu dilakukan secara tersusun dan jelas agar perkongsian ini dapat dibuat selengkapnya. Sebagai contoh, perkongsian data antara agensi pusat dan negeri, agensi pusat seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan mungkin daripada agensi negeri ialah PUJB. Data dan maklumat syarikat PKS sangat penting bagi negeri merencana atau melaksanakan apa-apa pun inisiatif yang akhirnya membantu usahawan itu sendiri. Cuma ketika ini, segala data tersebut perlulah dibeli dengan kos yang Panti rasa tidaklah murah. Mungkin ada inisiatif negeri dalam perkara ini yang membolehkan perkongsian data seperti ini dapat di buat dengan lebih mudah, dengan dan dengan kos yang minima.
Yang Berhormat Speaker, perkara terakhir yang Panti ingin sampaikan hari ini adalah berkaitan dengan GLC negeri. Panti percaya GLC negeri khususnya banyak telah membantu terutamanya pada waktu seperti hari ini. Banyak yang kita tahun GLC negeri mengeluarkan bantuan secara CSR seperti bantuan makanan, bantuan membaiki rumah, bantuan peralatan perniagaan dan sebagainya. Panti mengucapkan ribuan terima kasih dan atas, ribuan terima kasih atas segala usaha tersebut. Cuma Panti ingin memohon supaya untuk setiap bantuan yang diberi jika ada syarat agar dilonggarkan dan dari segi penyampaiannya mungkin boleh berhubung terus dengan kami wakil rakyat, atau mungkin melalui penghulu atau Pejabat Daerah bagi pelaksanaan apa jua program dan bantuan, sebab kadang-kadang Panti menerima banyak aduan tentang adanya bantuan yang lambat sampai ke pengetahuan mereka dan akhirnya mereka terlepas untuk membuat permohonan.
Yang Berhormat Speaker, kesimpulannya, Belanjawan 2021 yang dibentangkan perlulah disokong sepenuhnya walaupun dengan pelbagai rintangan dan perkara yang ada pada hari ini kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Hasni berjaya membawa kepada kita satu perancang terbaik yang akhirnya memberi kesan positif kepada semua golongan. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan dipermudahkan untuk kita sama-sama laksanakan. Semoga dengan niat ikhlas kerajaan pada hari ini membantu rakyat, Allah SWT memakbulkan doa kita agar wabak COVID-19 yang diuji ke atas kita hari ini
dapat segera kita atasi, insya-Allah, sekian wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Panti. Yang Berhormat Serom, jemput.
Bismillahirahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Puan Speaker, Serom ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi peluang kepada Serom untuk turut sama dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor 2021 yang telah dibentangkan buat kali yang pertama di dalam sejarah Johor oleh seorang jurutera profesional, Yang Amat Berhormat Ir Datuk Haji Hasni Mohammad, Datuk Menteri Besar Johor pada 26 November yang lalu. Sebuah pelan pembentangan yang berlandaskan etika profesional, yang jujur dan ikhlas dengan pertimbangan yang seimbang di antara keperluan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat pelbagai kaum keseluruhannya. Semoga prinsip ini terus kekal menjadi teras di dalam gaya kepimpinan Yang Amat Berhormat Ir Datuk dan menjadi contoh dan ikutan para jurutera profesional lain khususnya dan rakyat Johor amnya. Terlebih dahulu Serom sebelum meneruskan perbahasan, Serom dan rakyat seluruh kawasan Serom ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor yang ke 72 pada 22 November 2020 yang bersamaan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah yang lalu. Semoga Duli yang Maha Mulia Tuanku akan sentiasa dilimpahi keberkatan dan dilanjutkan usia untuk terus memerintah negeri Johor Darul Takzim dengan penuh adil dan saksama demi agama, bangsa Johor dan tanah air.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom juga ingin bersama menyedari bahawa seperti yang telah diungkapkan oleh Yang Amat Berhormat Ir Datuk Menteri Besar bahawa Belanjawan Johor 2020 ini telah dirangka di saat paling getir dan mencabar dengan pandemik COVID-19, dengan izin, telah menjadi satu igauan ngeri kepada seluruh umat manusia dengan terpaksa mengamalkan pelbagai norma-norma baru yang sangat mengesan gaya kehidupan sebelumnya. Pandemik COVID-19 yang bermula sekitar Februari 2020 yang lalu dengan sekelip mata telah merubah norma kehidupan kita, malah lebih teruk daripada itu telah menyebabkan segala struktur ekonomi negara, malah dunia amnya terpaksa sebahagiannya di susun semula, malah ada industri baru yang hendak dipulihkan seperti industri penerbangan negara, industri perladangan, malah industri pelancongan dan pelbagai industri strategik negara terpaksa di bina semula sepenuhnya.
Yang Amat Berhormat Ir Datuk dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri yang dimuliakan sekalian, pandemik COVID-19 ini belum ada tanda-tanda akan reda. Vaksin yang diusahakan masih di peringkat ujian klinikal, namun kita perlu terus berusaha untuk bangkit kembali dengan model ekonomi baru yang mungkin terpaksa beroperasi di dalam keadaan mesra COVID-19 kerana saya yakin kita semua memahami bahawa akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba, peribahasa seorang jurutera yang percaya bahawa kerja atau usaha hanya dapat disempurnakan secara beransur-ansur dan ia tidak boleh diselesaikan secara sekali gus jika mahukan hasil yang berkualiti. Maka Serom ingin menyeru kepada seluruh bangsa Johor, baik pimpinan mahupun kita yang dipimpin dan rakyat keseluruhannya untuk terus berusaha melakukan yang terbaik. #kitajagakita, #kitabelummenang untuk Johor yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Yang Berhormat Puan Speaker, bagi memulakan perbahasan Johor 2021, Serom ingin menyorot kembali kata-kata Yang Amat Berhormat Ir Datuk bahawa pentadbiran beliau akan sentiasa bersifat realistik dan bertanggungjawab dan beliau menyeru semua Ahli Dewan yang mulia ini agar bersolidariti demi Johor yang sangat semua kita cintai. Inilah waktu katanya kita membuktikan bahawa ideologi yang berbeza, fahaman politik yang berlainan
dan pendidikan kita yang pelbagai tidak akan mengatasi cinta kita kepada negeri Johor Darul Takzim, maka Serom ingin menyeru kita Ahli-Ahli Dewan yang mulia menjadi sebuah pasukan dengan segala kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan sebaiknya. Kerjasama pelbagai pihak khususnya pada ketika ini termasuk ADUN-ADUN kerajaan dan pembangkang sangat diperlukan untuk membangunkan kembali ekonomi Johor seperti yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Ir Datuk Menteri Besar, maka sebagai langkah permulaan kepada kejayaan pelbagai usaha ini Serom fikir sudah sampai masanya kita tinggalkan segala amalan lama, style lama pentadbiran dengan membawa kami Ahli-Ahli Dewan sebelah sini untuk terlibat sama dijemput sama di dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tindakan Daerah sepertimana seruan Ahli-Ahli Dewan rakan-rakan saya yang lain, saya percaya dengan kepakaran kami yang ada atau sekurang-kurangnya dibenarkan menghantar soalan setiap sebelum mesyuarat diadakan seperti yang dicadangkan oleh Tangkak. Seperti kata pepatah Melayu, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, maka Serom penuh yakin, kita yakin kisah-kisah kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat negeri Johor akan dapat kita ulangi bersama sekali lagi sepertimana yang dihasratkan dalam Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom seterusnya ingin membahaskan pelbagai strategi pemulihan ekonomi negeri yang dipacu tiga agenda yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Ir Datuk, Serom umumnya bersetuju dengan agenda bekalan, jaminan bekalan makanan negeri Johor yang telah sekian lama meletakkan Johor di antara, di antara pengeluar dan pembekal utama produk sektor pertanian dan industri makanan negara. Namun seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa the right crops and the right products, dengan izin menjadi perkara yang paling penting dan kritikal untuk ditentukan, maka dengan itu Serom ingin mencadangkan untuk Johor mengambil manfaat sepenuhnya dari kedudukan strategik negeri ini yang berada di antara dua perairan utama dunia iaitu Laut Cina Selatan dan Selat Melaka, seterusnya menerobos jauh ke laut luas yang sarat dengan pelbagai khazanah khususnya perikanan untuk kita menerokai satu industri baru iaitu industri perikanan laut dalam dan segala industri hiliran berkaitan sebagai sumber ekonomi baru. Serom maklum bahawa industri ini bukanlah industri yang mudah, dan ia memerlukan peruntukan yang sangat tinggi untuk diterokai. Namun seperti peribahasa tadi iaitu akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba boleh diadaptasikan di dalam menjayakannya.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang dimuliakan, keseluruhan bekalan ikan sedia ada segar sedia ada di pasaran hari ini hanya 20% daripada sumber perikanan tepi pantai sahaja dan import. Manakala baki 80% sumber perikanan adalah dari laut dalam yang masih belum diterokai sepenuhnya. Ia adalah aset negara yang belum terusik sepenuhnya. Pelbagai peluang industri baru berkaitan yang memberi impak langsung juga kepada industri pertanian yang menjadi agenda kerajaan negeri. Pelbagai peluang tambah nilai dan pekerjaan baru yang berdaya maju dan bernilai tinggi seperti pengeluaran ikan baja, fish meal, ship repair and maintenance, ship spare parts, freeze and seafood packaging, seafood transportation, dengan izin dan banyak lagi industri hiliran yang boleh diterokai dengan meluasnya. Cadangan ini boleh dimulakan dengan pengeluaran lesen laut dalam kepada pelabur-pelabur untuk dianugerahkan kepada nelayan-nelayan tempatan terpilih. Pewartaan kawasan atau zon rancangan industri perikanan laut dalam dengan penglibatan jeti-jeti kerajaan atau swasta terpilih serta bidang kuasa, serta bidang kuasa dan penglibatan jelas di antara kerajaan persekutuan, negeri malah negara-negara yang terlibat.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom sangat menghargai hasrat Belanjawan 2021 yang telah menghargai komitmen para pesawah. Kawasan Periuk Nasi Selatan dengan memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi program peningkatan hasil padi luar jelapang. Kawasan Serom sendiri mempunyai empat kawasan tanaman padi luar jelapang dengan keluasan hampir 600 hektar, namun isu-isu kualiti tanah yang agak berasid mungkin di bantu dengan bantuan teknologi boleh diperbaiki dan pastinya dengan khidmat pakar,
nasihat pakar-pakar pertanian negara. Di samping itu, bekalan, masalah bekalan air yang sering terganggu sedikit sebanyak boleh menjejaskan kadar pengeluaran setahun pengeluaran padi.
Yang Berhormat Puan Speaker, melalui Belanjawan 2020 dengan semangat untuk berdaya tahan demi kemakmuran, Serom dengan dikelilingi sungai di kiri, iaitu Sungai Muar dan kanan Sungai Kesang serta menghadap ke sungai, ke laut Selat Melaka, juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan hari ini yang telah mewartakan lima kawasan sebagai zon industri perikanan, termasuk kawasan Kesang Laut untuk ternakan kupang dengan peruntukan keseluruhan RM2.9 juta. Suka untuk Serom nyatakan untuk makluman Ahli-Ahli Dewan di sini bahawa hari ini kumpulan penyelidik dari beberapa universiti tempatan, termasuk Universiti Putra Malaysia, dari Jabatan Akuakultur dan beberapa penyelidik tempatan telah mengesahkan penemuan spesies tiram baru, oyster dengan izin, di sekitar Tanjung Agas dan Sungai Muar serta muara Sungai Kesang dari jenis tiram jenis tiram putih yang telah diberi nama saintifiknya sebagai Crassostrea Saidi Keunikan dan kewujudan telah lama, telah lebih awal dikenal pasti seperti yang telah dimaklumkan di dalam jurnal bercetak tahun 1858 lagi, maka Serom mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengiktiraf penemuan ini dengan turut menyediakan peruntukan dan sokongan kepada pengusaha-pengusaha oyster dengan izin ini agar dapat terus dipelihara supaya berterusan populasinya setelah lebih 100 tahun berada di Sungai Kesang dan seterusnya sebagai sumber ekonomi baru masyarakat setempat dan tarikan pelancong.
Yang Berhormat Puan Speaker, untuk yang seterusnya Serom ingin membawa perhatian hadirin yang di dalam Dewan yang mulia ini kepada agenda Majestic Johor seperti yang telah disentuh di dalam Belanjawan Johor 2021. Pandemik COVID-19 telah menjadi igauan negeri kepada industri pelancongan. Serom bersetuju dengan cadangan kerajaan Johor memperuntukkan peruntukan yang agak besar kepada sektor ini dengan pelbagai inisiatif termasuk penelitian semula Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023. Namun, peribahasa Melayu seperti yang diutarakan kelmarin oleh Senggarang iaitu, umpan habis, ikan tak dapat, perlu menjadi ingatan kepada semua. Serom umumnya bersetuju untuk kerajaan membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan di negeri Johor ini. Namun, ingin melahirkan kebimbangan kepada cadangan-cadangan kerajaan kerana mengikut pemerhatian Serom sendiri bahawa ada sebahagian daripada kemudahan yang dinyatakan telah agak usang dan seperti sangat jarang digunakan hatta sebelum PKP lagi. Ada yang nampak seperti telah agak lama terbiar. Maka dicadangkan untuk pihak kerajaan melaksanakan terlebih dahulu audit kepenggunaan, demand and supply dengan izin, kepada semua kemudahan yang disediakan di lokasi-lokasi yang dicadangkan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja baik pulih atau bina baru dilaksanakan.
Di sebalik cadangan pembangunan infrastruktur yang akan dibangunkan dan di baik pulih, Serom ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk membangunkan prasarana pelancongan berdasarkan trend permintaan baru dan semasa masyarakat hari ini. Contohnya, seperti prasarana pelancongan sukan. Kita di Johor bertuah kerana memiliki pasukan canoe polo yang saya kira telah acap kali saya sebutkan di Dewan yang mulia ini yang bukan sahaja bergelar juara kebangsaan, malah pasukan yang mewakili Malaysia dalam sukan canoe polo ini juga rata-ratanya bangsa Johor juga bergelar di antara pasukan terbaik Asia malah dunia. Banyak permintaan dari pasukan-pasukan antarabangsa untuk datang berlatih di Malaysia kerana faktor cuaca yang konsisten dan rekod pencapaian pasukan kita namun, membatalkan hasrat kerana tiada kemudahan yang sesuai di sini. Maka Serom mencadangkan kepada kerajaan untuk melihat potensi pelancongan sukan ini sebagai di antara sumber ekonomi baru bagi negeri Johor. Bukan sahaja canoe polo malah banyak lagi sukan lain yang boleh difikirkan.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom seterusnya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas penyediaan peruntukan sebanyak RM9 juta bagi baik pulih dan penambahan
infrastruktur Sekolah Agama Johor dan sekolah agama bantuan kerajaan kerana Serom sangat memahami keadaan semasa sekolah-sekolah agama ini. Cadangan kerajaan negeri untuk membina 12 buah sekolah Fasa 6 bagi tempoh 5 tahun akan datang dengan anggaran sebanyak RM85 juta adalah suatu yang baik kepada pendidikan anak-anak masa depan. Namun, Serom ingin membangkitkan beberapa perkara yang Serom fikirkan sangat penting untuk dipertimbangkan iaitu mengenai isu skim perkhidmatan, skim gaji dan bilangan guru atau staf sokongan yang sedang berkhidmat di Sekolah Agama Johor berbanding dengan pelajar. Perlu Serom tegaskan di sini bahawa beberapa perkara asas yang perlu disediakan iaitu jumlah guru yang mencukupi, kemas kini skim perkhidmatan yang masih ramai berstatus kontrak, gaji KAFA hanya RM1,500.00 sebulan serta melihat semula faedah-faedah lain berdasarkan kelayakan sebagai guru tetap ataupun kontrak. Serom juga mohon pengesahan adakah nisbah bilangan guru atau staf sokongan kepada pelajar di ambil kira bagi setiap sekolah? Contoh yang Serom perhatikan, ada sebuah sekolah dengan 600 orang murid hanya mempunyai 12 orang guru dan daripada 12 orang guru ini 3 adalah guru tetap manakala 9 adalah guru kontrak. Nisbah ini iaitu 1:50 pelajar adalah merupakan suatu nisbah yang sangat tinggi berbanding dengan nisbah-nisbah lain sistem pendidikan. Maka Serom mohon semua perkara ini diperhalusi, diambil kira malah di naik taraf.
Yang Berhormat Puan Speaker, Serom juga ingin seterusnya membawa perhatian semua di Dewan yang mulia ini kepada lanjutan isu pendidikan kesan dari pelaksanaan PKP dan PKPB yang Serom kira telah acap kali juga dibangkitkan di Dewan yang mulia pada sidang kali ini. Serom ingin menyatakan kebimbangan kepada kaedah pembelajaran pelajar-pelajar sekolah sama ada peringkat rendah dan menengah hari ini kerana kebanyakannya bergantung sepenuhnya sama ada kepada hand phone, komputer, tab, TV dengan kemudahan Internet. Semuanya memerlukan peralatan yang secara langsung menidak hak-hak mereka yang tidak berkemampuan. Serom juga melahirkan kebimbangan mengenai kualiti akademik dan sosial yang pastinya akan terjejas tanpa mengira latar belakang keluarga sama ada datang dari B40, M40 atau T20 sendiri dengan izin khususnya jika pandemik COVID-19 ini berlanjutan untuk tempoh yang lebih lama. Maka Serom ingin mencadangkan agar pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk melihat kepada pelbagai pilihan strategi dan sistem sokongan yang ada di dalam merangka mekanisme baru sistem pendidikan. Pelbagai kategori dan kaedah pembelajaran pelajar yang terangkum di dalam apa yang disebut sebagai Student Learning Time atau SLT dengan diselitkan pembelajaran secara outdoor, misalnya boleh dirangka. Sistem penilaian pelajar juga disusun semula agar lebih flexible dengan izin. Serom mencadangkan agar khidmat nasihat dari pakar-pakar pendidikan mengenai teknik-teknik baru pembelajaran perlu segera diusahakan. Mungkin boleh distrategikan seperti peribahasa, belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Di dalam kaedah ini jika boleh diusahakan agar sesekali melakukan pekerjaan dua tiga hasrat akan tercapai.
Yang Berhormat Puan Speaker, untuk perkara yang terakhir, Serom ingin menyentuh mengenai statistik pembukaan semula pasar malam, pasar tani, pasar pagi, bazar selepas PKP dan juga PKPB yang baru ini. Merujuk kepada penjelasan secara bertulis YB EXCO, pembukaan semula berkuat kuasa 15 Jun 2020 yang lalu dan waktu operasi adalah mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh PBT serta SOP oleh MKN. Mengikut statistik pembukaan pasar yang diberikan di kawasan-kawasan PBT, 2 PBT mencatat pembukaan hanya kepada pasar malam sahaja. Ini sangat-sangat mengejutkan. Iaitu, Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Tangkak, namun, pembukaan pasar pagi, pasar sehari, bazar tidak dinyatakan bagi kedua-dua PBT ini. Serom menerima maklum balas dan rungutan yang amat sangat daripada para peniaga mengenai isu ini. Serom ingin mendapatkan penjelasan dari pihak kerajaan mengenai perkara ini kerana di saat kita cuba merangsang ekonomi dalam negeri, dan membantu para peniaga meneruskan perniagaan dan kehidupan yang telah terhenti sekian lama masih ada ramai peniaga-peniaga yang masih tidak dapat meneruskan perniagaan mereka. Di saat Johor
Bahru kembali kepada zon merah tempoh hari, perniagaan pasar pagi, bazar di daerah ini masih terus berjalan seperti biasa. Namun, daerah Tangkak terus tiada peniaga yang berniaga walaupun kumulatif kes COVID-19 sekitar 14 bilangan semasa berbanding di PBT-PBT yang lain. Serom mohon penjelasan mengenai isu ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, sebelum Serom mengakhiri perbahasan, Serom ingin menyentuh kepada beberapa isu semasa kawasan Serom. Isu pertama...
Masa sudah tidak diizinkan. Sila gulung.
Baik. Serom gulung. Isu pertama ialah isu sering kali berkait saban tahun ialah isu banjir yang berulang-ulang kali berlaku. Seperti mana yang dibangkitkan oleh Bentayan semalam, Serom khususnya kawasan seperti Tanjung Agas. Saya sambung sikit.
Satu minit.
Seperti mana yang dibangkitkan oleh Bentayan semalam, Serom khususnya di kawasan seperti Tanjung Agas, Parit Bunga, Kesang, Tanjung Gading Barat turut berlaku banjir dan ramai penduduk yang terpaksa dipindahkan. Ia melibatkan kerugian harta benda yang bukan sedikit. Tambahan ia berlaku ketika semasa kita semua berada di dalam tempoh PKP. Kesusahan makin bertambah berat, ibarat jatuh ditimpa tangga. Di antara punca utama yang dikenal pasti ialah terus tertangguhnya projek RTB bagi pintasan AMJ sehingga hari ini. Isu ini telah berulang kali Serom bangkitkan di Dewan ini termasuk semasa lawatan Bukit Kepong sebagai MB yang turut disertai pegawai utama kerajaan. Namun, masih ada lagi masalah zaman kerajaan BN yang belum sempat di selesaikan oleh beliau walaupun Bukit Kepong sudah hilang jawatan sebagai Menteri Besar. Dan ia masih menjadi punca kepada berlakunya banjir di kawasan terlibat.
Punca kedua yang dikenal pasti ialah kedudukan paras semasa Lebuh AMJ yang turut berubah jauh daripada kedudukan asal selepas pembinaannya menyebabkan aliran air tidak dapat terus mengalir ke laut. Punca yang ketiga ialah didapati juga parit keliling yang panjangnya sekitar 25 kilometer tidak dapat diselenggara kerana tiada peruntukan. Mengikut semakan dengan pihak JPS, peruntukan hanya sebanyak RM500,000.00 diperlukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan ini. Maka Serom mohon tindakan segera pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu yang telah sekian lama hampir 30 tahun tidak diselesaikan dan menjadi ratapan masyarakat setempat setiap kali musim hujan.
Serom juga ingin menyentuh pelbagai projek pelebaran jambatan sekitar Bukit Gambir ke Serom yang telah dimaklumkan dalam Bajet 2020 yang lalu namun sehingga hari ini tiada tanda-tanda akan dilaksanakan. Penjelasan YB EXCO mengenai perkara ini amat diharapkan dengan kadar kemalangan di jambatan terbabit dipercayai terus meningkat dengan tertangguhnya projek tersebut.
Untuk yang terakhir, Serom ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan hari ini di atas kesediaan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi membuka ruang kepada penjawat-penjawat awam untuk memiliki nilai tambah dengan kelayakan profesional seperti engineer, surveyor, akauntan bertauliah. Kesediaan ini bakal menaik taraf kualiti sumber manusia khususnya Johor Civil Service dengan izin, dan semua rakyat Johor amnya. Serom juga ingin mengucapkan terima kasih di atas kerajaan untuk memanjangkan bantuan khas kewangan kepada semua guru KAFA dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Yang Berhormat Perling, jemput.
Terima kasih, tapi sebelum saya mula ucapan saya, saya cuma hendak tanya sikit dengan Puan Speaker, adakah waktu rehat kita ditunda ataupun apa?
Maksud tunda?
Maksudnya tak ada waktu rehat untuk hari ini?
Sorry?
Waktu rehat yang biasanya 3.30 itu dah dibatalkan macam mana?
Waktu rehat memang kita boleh nak, tak nak sediakan. Memang ada hak untuk tidak mempunyai waktu rehat.
Ok, ok, kalau tak saya kena minta maaf sebab saya takut ucapan saya nanti buatkan lebih ramai rakan-rakan kita tidur. Jadi saya mulakan ...
Jadi, pendekkanlah kalau boleh.
Kalau bolehlah saya pun harap. Ok. Saya mula ucapan saya terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana memberi peluang Perling untuk mengambil bahagian dalam perbahasan perbelanjaan 2021 ini. Saya ucapkan selamat dan sejahtera kepada semua.
Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan setinggi-tinggi tahniah dan ucapkan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertua Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lepas.
Yang Berhormat Puan Speaker, mulai 17 November yang lalu dalam tempoh seminggu sekurang-kurangnya ada 5 banjir kilat dalam kawasan DUN Perling. Antara dalam catitan pejabat Perling adalah di Lingkaran Kampung Pasir, Kampung Pasir itu sendiri, Kampung Sri Jaya, Pengkalan Rinting dan Kampung Tuah Jaya. Dan ada juga air telah melimpah ke jalan raya di sebelah Hospital Sultanah Aminah, itu dekat Sungai Chat. Antara yang paling serius yang Perling ingin sebutkan dekat sini ialah pada 19 dan 20 hari bulan. Dua hari berturut-turut berlakunya banjir kilat di Kampung Pasir pada tahap pinggang, dekat Kampung Pasir dan Kampung Tuah Jaya pada tahap dada. Itu ialah ikatan tubuh badan saya. Kalau yang lebih tinggi mungkin tahap perut ataupun bawah perut. Jadi, masing-masing lebih kurang 25 buah rumah dan ...
Yang Berhormat Speaker, Peraturan 45, Bilangan (xiii), “Seseorang Ahli itu tidak boleh sesekali (a) Mendatangkan sangkaan-sangkaan yang tidak baik kepada seseorang Ahli.” Maksudnya tadi, paras pinggang, pinggang siapa, dada, dada siapa. Terima kasih Puan Speaker. (Dewan ketawa)
Sila jaga perkataan.
Saya buat penjelasan. Ini paras pinggang saya dan paras dada saya sendiri. Saya rasa boleh buat penjelasan. Ok. Saya teruskan nanti takut Speaker tak bagi saya cakap pulak. Ok, mana eh. Maklum kita semua tahu formula kejadian banjir kilat ini ialah air pasang dengan, dengan sangat tinggi dan hujan lebat. Ini
faktor yang kita tidak terkawal, tidak kawal, tidak dapat kawal tetapi yang mengecewakan kita sebenarnya kegagalan fungsi infrastruktur yang sedia untuk, untuk menebat banjir kilat berlaku. Jadi pejabat Perling difahamkan salah satu pintu air rosak dan mengakibatkan air dari sungai terus mengalir dengan banyak ke dalam kawasan kampung ketika air pasang tinggi. Walaupun pada hari JPS telah tungkus lumus membaiki pintu air tersebut selepas berlakunya banjir pada hari pertama tetapi tidak dapat menghalang banjir berlaku kali kedua, dua hari berturut-turut banjir kilat di kawasan yang sama.
Jadi Perling difahamkan bahawa RMK-12 akan ada pam air yang baru akan dipasangkan di pintu air tersebut. Di mana pam air ini mampu untuk mengatasi masalah sisa pepejal yang sering merosakkan pam air. Jadi Perling ingin mengambil kesempatan ini untuk mewakili orang kampung menyampaikan penghargaan terhadap pembaharuan sistem pam ini. Kalau lah pam yang disebutkan itu pam itu, pembaharuan pam itu adalah berautomatik dengan adanya sensor di mana kalau ketinggian air mencapai sesuatu tahap yang berbahaya, pam air itu akan terus hidup dan mengepam air ke sungai adalah lebih baik. Ini boleh mengatasi masalah di mana sering kali bila air naik sahaja kena pesan pegawai yang bertugas datang ke rumah pam untuk menghidupkan pam dan ada kalanya pegawai itu kalau dia terlewat mungkin menyebabkan air mula melimpah ke arah kampung.
Cuma dekat sini ada satu persoalan sebab sistem pembetung, penebatan banjir ini kena sering berfungsi terutamanya ketika air pasang tinggi dan mengapa ada pintu air yang rosak telah berlaku dan tidak dapat dikesan awal dan adakah, ini timbul persoalan adakah kerja-kerja penyelenggaraan atau dengan izin, maintenance dilakukan kerap atau mengikut jadual. Dan disebabkan kecuaian ini makalah, maka berlaku banjir yang paling serius sejak tahun 2006 di kawasan lingkaran Kampung Pasir ini. Sehubungan dengan ini, Perling ingin memohon kerajaan negeri supaya memberi pampasan kepada banjir kilat akibat daripada kecuaian teknikal ini.
Satu lagi masalah yang berkenaan dengan infrastruktur penebatan air berlaku juga di rumah-rumah sebelah dengan tali air Jalan Cempedak dan Jalan Sengkuang, Kampung Pasir yang mengalami banjir kilat ketika air pasang tinggi selama 3 hari berturut-turut. Di sini pula perlukan, kemungkinan perlukan satu tebing simen yang lebih tinggi untuk menghalang air daripada melimpah terutamanya pada air pasang. Jadi saya minta MBJB melihat dan mengkaji untuk keperluan ini. Saya, Perling meminta pihak JPS dengan MBJB dapat memastikan saliran ataupun sistem tebatan banjir dalam keadaan baik dalam lingkungan masa ini, sebab setiap hujung tahun dekat kawasan Johor Selatan terutamanya dalam kawasan kita ada satu air bah besar yang dia akan pasang dengan sangat tinggi. Jadi kebiasaannya dia akan melimpah dekat jalan raya dan sebab itu kita minta pihak-pihak berkenaan JPS, MBJB boleh memantau dan memastikan sistem itu berfungsi dengan baik.
Dekat sini juga timbul satu persoalan, kita sering tanya adakah penambakan laut di muara Sungai Skudai itu membawa impak kepada saliran air kita terutamanya dekat-dekat kawasan situ. Sebab penambakan itu sudah berlaku kesan-kesannya mungkin perlukan kajian dan perlukan infrastruktur yang baru untuk menampung aliran air daripada hulu dan saya juga, Perling juga ingin mengambil perhatian Dewan yang mulia ini memandangkan jangkaan taburan hujan yang sangat lebat yang seperti pada tahun 2006. Tambahan dengan perubahan iklim yang ekstrim yang susah kita jangkakan dan apakah persediaan kerajaan jika berlakunya banjir?
Yang Berhormat Speaker, baru tadi saya sebut pasal sisa pepejal merosakkan pam air yang sering berlaku di dalam kawasan kita. Malah sampah juga menyebabkan, sebab utama saliran-saliran air tersekat, sumbat dan menghalang air mengalir dan selepas itu air lebih senang melimpah keluar dan banjir kilat berlaku. Jadi sisa pepejal ini juga menyebabkan pencemaran sungai, jika kita berpeluang untuk menaiki bot di Sungai Skudai, kita akan mendapati lautan sampah, lautan sampah yang bot sendiri itu pun susah untuk melintas.
Jadi ada yang kita, Perling tahu sampai perangkap sampah sendiri itu pun rosak akibat daripada sampah terlalu banyak dan walaupun kita ingin soalkan apa itu kekerapan penyelenggaraan perangkap sampah tersebut tapi pada waktu yang sama sebenarnya direkodkan bertan-tan sampah dilaporkan di loji pembersihan sampah dekat Sungai Skudai, Taman Tampoi Utama.
Jika kita tidak mengendali sisa pepejal daripada puncanya dengan lebih berkesan peningkatan kekerapan pembersihan saliran juga tidak membantu dari segi memastikan air mengalir dengan lancar sebab kita bersihkan dia akan sumbat lagi. Dan ini juga tidak akan membantu dalam terutamanya, dalam pencemaran sungai. Saya ambil contoh, dekat lingkaran Kampung Pasir, sekali lagi dekat Kampung Pasir di mana sebahagian besar tiada perkhidmatan lori masuk terus untuk mengambil sampah depan pintu dekat Kampung Pasir. Mereka sebahagian besarnya ialah pembayar cukai pintu tetapi tiada perkhidmatan sebegini dan biasalah manusia ada kalanya mereka dengan senangnya ambil sampah daripada dia lebih rela untuk membuang sampah dekat saliran yang depan atau pun dekat dengan rumah daripada membuangnya pada tempat perkumpulan sampah yang tertentu di kampung. Jadi, Perling juga ingin mengambil perhatian berkenaan ketiadaan perkhidmatan lori sampah di kawasan perindustrian yang juga dikatakan penyumbang kepada pembuangan sisa pepejal secara haram yang seterusnya menyebabkan pembakaran secara terbuka yang haram juga yang menyebabkan pencemaran udara kali ini. Jadi, sehubungan dengan itu Perling ingin kerajaan mengkaji semula perkhidmatan-perkhidmatan pengutipan sisa pepejal yang disebutkan di atas. Sememangnya sistem penguat kuasa yang lebih efisien diperlukan tetapi pada waktu yang sama tanpa pengurusan sampah dari punca juga akan mensia-siakan usaha kita menjaga kebersihan alam sekitar kita.
Yang Berhormat Speaker, Perling juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berbincang pasal sedikit pasal kes denggi yang meningkat secara mendadak terutamanya pada tahun ini. Rata-rata memang akibat daripada cuaca tetapi angka ataupun yang isu-isu lain pernah disebutkan oleh rakan seDewan sebelum ini. Perling cuma ingin sentuh berkenaan ada punca ataupun tempat pembiakan Aedes sebenarnya berasal daripada rumah yang tinggal kawasan akibat penghuninya terkandas di Singapura. Mereka terpaksa kerja dekat Singapura dan rumah itu kosong dan mungkin air ataupun ada takungan air berlaku dekat situ. Jadi dekat sini Perling ingin minta kerjasama beberapa agensi antaranya KKM, PBT, selain daripada memantau dan mempenguatkuasa kita juga ingin mengambil, menyeru supaya semua pihak mengambil perhatian terhadap kes denggi ini. Waktu ini ialah rata-rata kita maklum COVID tapi denggi juga kalau kita tidak mengambil perhatian dia juga membawa padah kepada kita. Dan kalau tidak ini akan mensia-siakan usaha team fogging kita yang sudah pun tidak cukup tenaga kerja pada waktu kini.
Yang Berhormat Speaker, Perling, baru-baru ini Perling pun juga sering menerima aduan berkenaan dengan masalah yang wujud hasil daripada penutupan sempadan Johor Singapura. Bukannya sahaja impak terhadap ekonomi kita yang membuatkan bandar, sebahagian bandar raya Johor Bahru sunyi selepas penutupan sempadan malah ramai ahli keluarga warganegara yang terpaksa terpisah di antara dua sempadan ini. Di sini Perling ingin menyeru supaya kerajaan kita kena pertimbangkan kelonggaran terutamanya tempoh hari untuk kuarantin kepada orang yang memasuki negara kita daripada keadaan COVID-19 yang berisiko lebih rendah dengan memperkenalkan kaedah pengawasan lain ataupun seperti tertera dalam syarat-syarat PCA, salah satu cara untuk yang mengehadkan pergerakan dalam negeri Johor sahaja.
Satu lagi, Perling ingin mengambil perhatian adalah berkenaan kos kuarantin terhadap penganggur dari Singapura juga merupakan beban pada golongan ini. Maklumlah keluarga rakan-rakan kita ini telah menganggur, tiada pendapatan tetap malah ketika balik semula ke negara perlu bayar kos yang begitu tinggi untuk kuarantin sampai ramai warganegara yang mengeluh tidak berani pulang ke negara akibat daripada kos kuarantin ini. Jadi Perling
berharap kerajaan negeri dapat maklumkan keadaan kritikal ini kepada kerajaan pusat yang ada kalanya kelihatan kurang peka dalam konteks berlaku di antara sempadan ini.
Yang Berhormat Speaker, sememangnya terjamin, terjaminnya jaminan bekalan makanan ini boleh merendahkan kos sara hidup rakyat malahan boleh membawa hasil kepada negeri. Jadi mengikut satu kertas perbincangan daripada Khazanah Research Institute yang ditulis pada tahun 2019 oleh Jomo Kwame Sundaram dan Tan Zhai Gen bersama Jarud Romadan Khalidi yang bertajuk Achieving Food Security For All Malaysians dengan izin, telah memberikan 4 cadangan polisi dalam mencapai Jaminan Bekalan Makanan antaranya :
1. Mempertimbangkan komitmen Malaysia untuk memenuhi keperluan negara dengan izin, ini terjemahan daripada Reconsider Malaysians Commitment To Achieving Rice Self Sufficiency.
2. Pilihan polisi alternatif untuk memantapkan lagi jaminan bekalan makanan dan menambah baik kebajikan petani dengan izin, Alternative Policy Options To Strengthen National Food Security And Improve Farmers Wellbeing.
3. Mempelbagaikan aspek jaminan bekalan makanan untuk memastikan diet yang sihat dan pelbagai untuk semua. Multifaceted Food Security Policy To Ensure Healthy Diversified Diets For All, dengan izin.
4. Keselamatan makanan perlu mendapat pertimbangan polisi yang lebih. Food Safety Should Get More Greater Policy Consideration, dengan izin.
Saya bacakan kedua-dua bahasa sebab saya takut penterjemahan saya tidak tepat. Kalau kita meneliti dari keempat-empat cadangan polisi itu. Selain memenuhi keperluan bekalan makanan juga dia perlu menekankan dari segi keselamatan dan kualiti kesihatan makanan yang kurang dibincangkan dalam ucapan Menteri Besar yang melibatkan kajian dan penyelidikan. Saya ambil contoh, negara kita cuma mampu menghasilkan 4.0 tan per hektar padi kalau kita bandingkan jauh ketinggalan dengan negara jiran kita, Indonesia yang mampu menghasilkan 5.19 tan per hektar dan Vietnam sebanyak 5.82 tan per hektar padi. Jadi cuma dengan peningkatan kuantiti dan kualiti hasil pertanian barulah seterusnya, baru boleh meningkatkan hasil penebatan melalui penyelidikan tidak boleh dielakkan. Sehubungan itu, Perling juga, Perling ingin bertanya berapakah dana yang terlibat disalurkan untuk tujuan penyelidikan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti pertanian dalam perbelanjaan ini?
Yang Berhormat Speaker, dalam perbahasan-perbahasan rakan seDewan juga membincangkan pasal hal Agenda Digital Johor, dari mana-mana aspek pun bekalan digital Johor mestilah berasaskan infrastruktur asas. Sekarang kira sebagai utiliti asas, adalah liputan dan kualiti perkhidmatan penyambungan digital dengan izin digital connectivity, kalau dengan bahasa yang mudah Internet. Sama ada melalui jalur lebar dalam talian tetap ataupun tanpa wayar, wireless, pantas dan murah. Namun sehingga kini bukannya semua kawasan dalam kawasan penduduk berkepadatan tinggi, mendapat liputan 4G. Kalau ikut laporan daripada MCMC, cuma 96.9% yang mendapat 4G sahaja, itu pun dalam kawasan yang berkepadatan tinggi. Dekat bandar Johor Bahru, bandar raya Johor Bahru sendiri pun ada kawasan yang belum ada jalur lebar yang, jalur lebar
Yang Berhormat, sila gulung.
Ok, ok, dengan talian yang ada. Jadi Perling juga ingin mengetahui sama ada JENDELA adalah rancangan yang menggantikan rancangan IOT sebelum ini ke? Ramai yang membincangkan IOT yang semakin hari semakin penting dalam perkembangan teknologi. Jadi untuk makluman Dewan yang mulia ini, dalam dunia
IOT kini cenderung menggunakan satu bandwidth iaitu narrow bandwidth untuk menerima data daripada sensor yang berjarak jauh. Kalau dalam fahaman Perling adalah tidak perlu infrastruktur lebih, cuma syarikat perkhidmatan sendiri, Telco kena sediakan bandwidth yang khas untuk tujuan menerima dan menghantar data melalui sensor peralatan yang biasanya memasang dengan sim card ke peralatan paparan kita sama ada telefon bimbit atau komputer dengan saiz data yang terlibat sekali penghantaran amatlah kecil, cumanya dalam byte, bukannya kilobyte dan bukannya megabyte. Jauh lebih kecil daripada gambar yang kita hantar gambar dalam Whatsapp. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan narrow bandwidth amatlah diperlukan dan penting dalam perkembangan IOT ini dan yang sepatutnya murah. Kalau dekat negara China perkhidmatan ini cuma RMB10, lebih kurang RM6 untuk setahun untuk perkhidmatan ini dan Perling minta pihak kerajaan mengambil serius dalam narrow bandwidth untuk perkembangan IOT kita.
Jadi Yang Berhormat Speaker, Perling juga berpendapat pada ketika ini memberi fokus kepada sektor pertanian dan digital adalah tepat pada masa dan mesti disegerakan. Cuma sektor-sektor ini melibatkan terlalu banyak teknikal. Jadi Perling ingin bertanya beberapa soalan. Satu, bagaimanakah kerajaan pusat boleh memberi kerjasama atau komitmen dengan kerajaan negeri dalam membangunkan sektor-sektor ini? Hal ini kerana banyak isu teknikal misalnya pembinaan infrastruktur penyambungan digital Internet adalah bidang kuasa kerajaan pusat. Malahan ada juga bidang perundangan dari segi perundangan dan polisi juga dari segi pusat, dan macam penyelidikan juga kebanyakan adalah institut-institut pusat. Jadi macam mana kerjasama antara ini? Yang kedua.
Yang Berhormat, sila beri peluang kepada YB yang last, jadi tamatkan perbahasan kamu.
Ok. Sehingga kini adakah apa laporan-laporan yang berkenaan untuk membangunkan sektor ini. Apakah route map, peta jalan atau sasaran yang ingin dicapaikan untuk perkembangan kemajuan dalam sektor-sektor yang disebutkan di atas. Kalau tiada apa-apa yang disebutkan, saya bimbang apa yang disebutkan Skudai berkenaan penyempurnaan epbt akan makan masa yang panjang untuk berlaku. Yang keempat, dalam ucapan MB juga menyebut fasal penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa atau badan-badan untuk membangunkan sektor-sektor ini. Jadi kita ingin tahu sesiapa yang adakah pakar daripada bidang-bidang tertentu yang memimpin badan-badan ini? Jadi Yang Berhormat Speaker, akhir sekali, ini betul-betul, akhir sekali saya ingin beri penghargaan dan kepujian kepada adanya bahasa isyarat dalam perbahasan MB itu. Ini satu saya rasa satu kemajuan dalam Dewan ini dan saya ambil, Perling juga ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada front liners yang bertungkus-lumus dan kita tidak lupa juga kepada kakitangan-kakitangan kerajaan yang kerjasama dengan kita selama ini dan tidak lupa juga staf-staf Jurutulis yang bertungkus-lumus menyediakan verbatim untuk mesyuarat kita dijalankan lancar. Dengan ini sekian saja daripada Perling.
Yang Berhormat Maharani, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam harapan, salam sayang Malaysiaku. (Bacaan doa). Maharani mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Speaker kerana memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor 2021. Terlebih dahulu, patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2020, bersamaan dengan 6 Rabiulakhir 1442 Hijrah.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani ingin menyentuh sedikit tentang penegasan-penegasan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dalam ucapan Belanjawan 2021 ini, iaitu tiada kerajaan yang mampu memberikan segalanya kepada semuanya dengan sebanyaknya, tatkala berada di dalam himpitan yang luar biasa waktu ini, dan era kerajaan tahu semua telah pun terakhir. Ini sememangnya tepat, tetapi Maharani berpendapat, tidak sewajarnya dijadikan alasan bagi kerajaan untuk mengesampingkan aspek-aspek pemberdayaan ekonomi dan sosial. Ekonomi dan sosial rakyat yang begitu teruk terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 ini, malah tidak cukup mengatakan pelaksanaan dan keberkesanan belanjawan ini hanya bergantung kepada bila pandemik akan berakhir. Sepantas mana sempadan Johor akan dibuka dan sekerap mana Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan. Tetapi yang lebih penting lagi ialah sejauh mana setiap bentuk bantuan ini mencapai golongan sasar yang benar-benar terhimpit oleh situasi pandemik ini. Bagaimana bantuan diagihkan agar sampai kepada tangan mereka yang memerlukan dan sejauh mana kerajaan serta agensi-agensi pelaksana, melaksanakan tanggungjawab dengan amanah agar bantuan diagihkan secara saksama tanpa mengira perbezaan ideologi politik rakyat.
Sesungguhnya sebagai kerajaan yang memimpin, tidak terlepas daripada amanah besar ini. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Zuhruf ayat 32, (bacaan ayat al-Quran). Yang bermaksud, “Apakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu, kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka, dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” Menginsafi maksud ayat ini, lebih-lebih lagi dalam suasana kita bergelut dengan kesan pandemik ini, sesungguhnya kekayaan negeri adalah tidak lain untuk membantu rakyat. Diagihkan kepada mereka secara saksama, bagi meringankan beban mereka, maka kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik pelbagai alasan sebagai justifikasi dalam kelemahan agihan bantuan kepada rakyat. Penyerahan peruntukan bantuan modal, bantuan tunai, bakul makanan dan lain-lain harus dipastikan agihannya lebih sistematik dan menepati sasaran tanpa sebarang diskriminasi.
Yang Berhormat Puan Speaker, walaupun ucapan Belanjawan 2021 ini sarat dengan pelbagai peruntukan, bantuan, rangsangan-rangsangan, rangsangan-rangsangan ekonomi, insentif dan inisiatif bagi memacu semula kemampanan dan ketahanan ekonomi, malangnya terlalu sedikit peruntukan dan perhatian diberikan bagi menangani kesan-kesan sosial akibat krisis ekonomi dan kesihatan era pandemik ini. Belanjawan 2021 sewajarnya menekankan pembinaan semula masyarakat yang lebih holistik, bukan semata-mata kemakmuran ekonomi dalam kita menghadapi cabaran demi cabaran susulan penularan wabak COVID-19 dalam tempoh hampir setahun ini. Dengan rakyat yang hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan, ibu bapa diuji dengan anak-anak tidak dapat ke sekolah, pembelajaran dan peperiksaan terganggu, peningkatan keganasan rumah tangga, peningkatan kes-kes bunuh diri, masalah kesihatan mental dan pelbagai lagi, usah kita terlepas pandang akan aspek-aspek nilai dan jati diri yang semakin terhakis kerana krisis pandemik ini.
Maharani ingin menarik perhatian kepada kata-kata hikmah daripada Sarjana Islam tersohor, Ibnu Sinar yang mengatakan, “Kegelisahan dan kebimbangan adalah separuh daripada penyakit, ketenangan adalah separuh daripada ubatnya dan kesabaran adalah awal dari kesembuhannya.” Kata-kata ini sangat bertepatan dengan situasi kita hari ini. Ketakutan, kepanikan dan kegelisahan yang keterlaluan dalam menghadapi krisis ini memberi kesan negatif dan boleh menjejaskan proses pemulihan dalam semua aspek sosial dan ekonomi. Kita semua dan kerajaan khususnya perlu bersikap lebih positif dan melihat hikmah-hikmah di sebalik setiap ujian yang melanda negeri dan rakyat negara ini, lalu memfokuskan segenap tenaga dan upaya kita mencari solusi yang tuntas untuk semua. Penularan pandemik COVID-19 ini sebenarnya membolehkan kita menilai semula segala perbuatan, mahupun dasar yang telah kita laksanakan dan kesempatan yang ada ini harus
digunakan untuk menghentikan kepincangan yang telah menjejaskan nilai dalam masyarakat. Kita seharusnya mencurahkan tenaga untuk membangunkan kerangka pemikiran politik, ekonomi, sosial baharu demi memastikan persekitaran kondusif untuk rakyat lebih berdaya saing. Ekonomi bermaruah serta melahirkan bangsa Johor yang bermartabat, cekal dan kaya jati diri.
Maharani menyeru kerajaan turut menilai keutamaan-keutamaan dalam pelaksanaan Belanjawan 2021 ini dengan menjadikan keutamaan bagi sesebuah kerajaan di dalam memastikan rakyat sentiasa diupayakan, bukan hanya dari sudut fizikal dan material semata-mata, sebaliknya rakyat harus diperkasakan dari sudut nilai, jati diri, daya saing, emosi dan sahsiah.
Yang Berhormat Puan Speaker, Ketua Saintis bagi World Health Organization (WHO) Dr. Soumya Swaminathan, saya harap sebutan saya betul telah mengatakan bahawa dunia memerlukan sehingga empat hingga lima tahun untuk betul-betul mengawal COVID-19. Manakala rata-rata pakar epidemiologi berpendapat COVID-19 ini akan masih bersama-sama kita sehingga akhir 2021 nanti. Maka penjarakan sosial dan segala SOP masih terus perlu diamalkan sehingga tempoh itu. Lantas kita tidak boleh menunggu sehingga pandemik ini berakhir beberapa tahun lagi untuk kita menyediakan negeri dan rakyat ke arah ketahanan sosial, emosi, spiritual dan jati diri. Mengharapkan pandemik ini akan segera berlalu dan kehidupan kita semua akan kembali normal seperti sedia kala adalah delusional dan akan membantutkan usaha-usaha perkembangan ke arah kesejahteraan rakyat. Dalam pada Belanjawan 2021 bertujuan untuk memangkin usaha membendung penularan COVID-19 dan menyerap impak sosioekonomi penularan wabak tersebut. Maharani menyeru kita berusaha melebarkan makna norma baharu,bukan sekadar mematuhi Standard Operation Procedure (SOP). Bahkan, norma baharu kita ialah berinovasi mencari pendekatan-pendekatan baharu dalam memperkasa dan mengupayakan rakyat agar lebih cekal menghadapi apa jua cabaran yang mendatang. Inilah cabaran intelektual sebenar kita di era norma baharu ini. Apakah compass intelektual yang telah kita sediakan bagi membina kemandirian serta keyakinan rakyat selain bantuan kewangan material dan fizikal bagi memastikan mereka tidak hanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan semata-mata malah terus gigih meningkatkan produktiviti dan nilai diri dalam mendepani cabaran.
Kita sebut tentang re-skilling, multi-skilling dan up-skilling rakyat ini sepatutnya bukan sekadar re-skilling hard skills tetapi lebih penting ialah soft skill mereka. Sejauh mana mereka dapat menangani masalah dan krisis kehidupan dengan lebih positif, berkeyakinan dan berdikari.
Yang Berhormat Puan Speaker, krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara konvensional tertangguh. Bahkan, menjadikan tugasan guru semakin mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan proses Pengajaran Dan Pembelajaran (PNP) dilaksanakan secara dalam talian. Pada saat inilah, kita melihat terdapat jurang besar dalam infrastruktur pendidikan kita dan suasana pembelajaran yang terhad selama ini. Kita lihat wujud kekangan pendidikan dalam talian seperti masalah capaian Internet, ketiadaan komputer atau telefon pintar tambah pula dengan sikap ibu bapa, murid dan pelajar sendiri memerlukan kerajaan dan kita semua menyemak semula cara untuk memastikan penyampaian ilmu itu tetap diteruskan.
Kita harus memperbaharui pendekatan kita dalam mendidik anak-anak tatkala kecelaruan pandemik ini. Tidak semestinya tiada komputer atau laptop, pembelajaran tidak boleh diteruskan dan tidak harus dijadikan halangan sebaliknya harus menjadi motivasi kepada ibu bapa pelajar dan guru bagi mencari alternatif pembelajaran yang lebih menarik. Misalnya, pelajar yang menghadapi masalah belajar secara dalam talian perlu diberi peluang berjumpa dengan guru di sekolah bagi mendapatkan ilmu secara bersemuka yang disifatkan lebih
mudah dan jelas supaya mereka tidak tercicir dalam proses pembelajaran. Proses belajar juga masih boleh berlaku di rumah tanpa bantuan digital seperti aktiviti kemahiran hidup, motor skills, membaca, mengajarkan adab dan nilai positif kepada anak. Semuanya bergantung kepada iltizam dan tekad kita untuk mencipta peluang dalam cabaran ini. Paling penting kita wajib memastikan pelajar tidak hilang semangat untuk menimba ilmu begitu juga guru tidak hilang semangat untuk menyampaikan ilmu.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani mengambil perhatian akan bentuk-bentuk inisiatif yang bakal dilaksanakan menerusi teras pemerkasaan Syiar Islam masih bersifat fizikal dan material berbanding penghayatan nilai dan aspek pemerkasaan kerohanian rakyat tatkala dibelenggu pandemik ini. Dalam konteks norma baharu ini, pendekatan kita dalam mengimbangkan Syiar Islam ini juga harus diperbaharui melalui inovasi agar kekal relevan dalam situasi semasa. Dalam keadaan surau-surau dan masjid dihadkan bilangan jemaahnya dan kita tidak tahu sampai bila semua SOP ini perlu dikekalkan.
Maharani menggesa kerajaan negeri menilai semula cadangan penubuhan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), untuk masjid dan surau sebaliknya peruntukan RM300,000.00 itu, sebaik-baiknya diagihkan bagi membina content keagamaan dalam bentuk pendigitalan sumber-sumber ilmu agama seperti khutbah online, e-book keagamaan, pengajian al-Quran dan Hadis secara maya. Bila ramai yang tidak dapat ke masjid, pergerakan dihadkan dan kuliah-kuliah tidak dapat diadakan, inilah yang sewajarnya menjadi norma baharu kita. Berbanding penubuhan Briged ini, pengajian dan aktiviti masjid atau surau secara maya bukan hanya dapat memanfaatkan seramai 500 orang belia sahaja, malah lebih ramai lagi rakyat pelbagai golongan mendapat faedah daripada pelaburan ini. Sesungguhnya aktiviti keilmuan dan keagamaan tidak harus dipinggirkan dalam mengaplikasikan pelbagai norma baharu dalam aspek ibadah ini.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani menzahirkan kebimbangan akan komitmen Belanjawan 2021 kali ini yang tidak menyediakan dana khusus dalam aspek kesihatan mental. Dalam aspek kesejahteraan wanita dan keluarga apatah lagi di kala pandemik ini, aspek kesihatan mental tidak wajib dikesampingkan memandangkan pelbagai cabaran serta tekanan hidup semasa telah menjejaskan tahap kesihatan mental dalam masyarakat. Kira-kira 60% daripada warga Malaysia dikhuatiri menghadapi masalah kesihatan mental susulan kegetiran suasana pandemik. Maka, kerajaan negeri wajar memberi perhatian dan peruntukan khusus kepada aspek ini sejajar dengan Pelan Strategik Kesihatan Mental Nasional 2019 hingga 2025 yang merangkumkan peruntukan berkaitan. Maharani mencadangkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JPKTD), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama hospital-hospital setiap daerah mempergiatkan saringan kesihatan mental khususnya di kalangan wanita di setiap daerah bagi mengesan masalah kesihatan mental di peringkat awal serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan minda selain membanteras stigma terhadap kesihatan mental. Jalinan kerjasama strategik antara agensi-agensi kerajaan bersama-sama NGO-NGO wanita serta komuniti wanita akar umbi di setiap daerah juga harus ditingkatkan dengan peruntukan kewangan khas bagi menangani cabaran kesihatan mental di kalangan wanita bandar dan luar bandar. Kerajaan negeri tidak harus menekankan semata-mata pembangunan dari aspek fizikal, malah, Pakej Rangsangan Pembangunan Ekonomi juga wajar diperkenalkan bagi membina masyarakat berdaya saing dan harmoni melalui penyediaan dan pembentukan komuniti yang selesa serta persekitaran kehidupan yang kondusif.
Yang Berhormat Puan Speaker, Maharani menyeru kerajaan meneliti semula kompas intelektual bagi menangani cabaran COVID-19 iaitu pentingnya kita bersiap siaga, bersedia untuk melakukan inovasi serta terbuka menerima idea mahupun pendekatan baharu apabila berhadapan dengan krisis. Sesungguhnya, krisis yang sedang kita hadapi ini bukanlah krisis konvensional, sebaliknya ini ialah peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan.
Bukannya defisit belanjawan sahaja yang harus kita fokuskan, tetapi lebih merisaukan ialah definisi nilai jati diri, kemandirian dan harga diri di kalangan rakyat daripada segenap lapisan yang memerlukan perhatian segera dalam pelaksanaan semua aspek Belanjawan 2021 ini.
Dalam peringkat mana pun, setiap dari kita adalah pemimpin, amanah rakyat ini junjung tidak boleh dianggap remeh sebaliknya setiap perbuatan dan tindakan setiap sen daripada wang hasil negeri dan rakyat dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap daripada kita. Maka, wajiblah bagi kita melunaskan tanggungjawab ini dengan jujur, amanah, telus dan berintegriti.
Sebagai mengakhiri ucapan saya, saya akhiri dengan dua rangkap pantun. Yang pertama ini, saya mohon meminjam sedikit pembayangnya daripada pantun YB ADUN Penawar tempoh hari. Duduk bertimpuh membuat lencana, minum bersembang berteman si nyonya, gerangan siapa punya kerja, rumah yang elok ditebuk atapnya. Untuk apa daunnya lebat, kalau buah dimakan ubat, apa erti bersahabat, bila di belakang buat khianat. Semoga kita semua terus bekerja menawarkan khidmat terbaik dengan harmoni demi kesejahteraan rakyat negeri Johor khususnya. Wabillahitaufik walhidayah. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 2 Disember 2020, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.15 petang.