Johor · 12 August 2021
4th session, 1st meeting · 4 turns · 952 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
(Pembukaan)
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. (Bacaan selawat).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan sementara Persidangan ini bagi mempersilakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat masuk ke dalam Dewan Persidangan. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif diminta terus berada di tempat duduk masing-masing dan dipohon berdiri hormat apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat masuk.
Persidangan ditangguhkan pada jam 9.35 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10.10 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Penolong Jurutulis : Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor mohon perkenan membaca doa.
DOA PEMBUKAAN PENGGAL PERSIDANGAN. (Mufti Negeri Johor baca doa).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan untuk bertitah kepada Dewan Negeri.
DYMM Tuanku Sultan Johor : Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam, kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga, dan para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.
Saudara-saudari sekalian, Persidangan Dewan penggal ini merupakan tahun kedua kita berhimpun dalam keadaan yang diselubung oleh ancaman wabak virus COVID-19. Malah pada masa ini, negeri Johor masih mencatatkan bilangan kes dan kematian harian yang sangat tinggi dan lebih teruk berbanding tahun yang lalu. Keadaan ini amat membimbangkan saya. Tambahan pula telah ada varian COVID baru yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa pesakit. Oleh itu, semua rakyat dinasihatkan agar lebih berhati-hati, kurangkan pergerakan keluar rumah dan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh kerajaan.
Persidangan Dewan kali ini juga hendaklah dibuat dengan berhati-hati, pastikan semua yang hadir mengikut SOP yang ditetapkan oleh penilaian risiko kesihatan. Hendaklah dibuat setiap hari, jika ada ancaman risiko yang tinggi, saya minta Tuan Speaker tangguhkan sidang Dewan ini.
Saudara-saudari sekalian, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang dan melaksanakan tindakan yang wajar bagi membantu rakyat yang terkesan. Oleh itu, ingin saya nasihatkan kepada semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi negeri Johor.
Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua mesti pentingkan rakyat di luar sana, tengah susah, yang ada kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak COVID ini. Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama, jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri.
Ingin juga saya ingatkan bahawa Dewan Negeri ini adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai buruk. Ini adalah Dewan yang mulia, bukan Dewan sangkar beruk. Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik. Saya juga ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana Wakil Rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu gugat negeri dan kerajaan saya. Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Negeri Johor. Saya rasa tidak perlu ada Wakil Rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat. Apabila COVID-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli Dewan yang baru. Selepas ini pilihlah betul-betul, pemimpin yang jujur dan ikhlas, mahu berkhidmat untuk rakyat.
Saudara-saudari sekalian, untuk membangunkan semula ekonomi selepas wabak ini dapat dikawal, kerajaan perlu bekerja keras untuk membantu para peniaga dan juga menarik pelabur luar agar banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Kerajaan juga perlu membuat dasar baru yang mesra pelabur dengan insentif yang sangat menarik. Saya pasti banyak pelabur akan datang ke negeri Johor. Namun jika kerajaan sering menukar dasar, mungkin kerana dengki dengan negeri Johor, maka pelabur akan hilang keyakinan dan pergi ke negara lain. Saya juga harapkan agar kerajaan pusat memberi perhatian dan membantu pembangunan negeri Johor dengan lebih banyak lagi terutama dalam bidang kesihatan dan infrastruktur jalan raya.
Saudara-saudari sekalian, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para petugas barisan hadapan atau frontliner yang cekal berkhidmat dalam
menangani wabak COVID ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pusat yang telah memberikan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri Johor. Penghargaan juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan sama ada bantuan makanan, kewangan dan sebagainya bagi membantu rakyat yang terjejas. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga wabak ini segera hilang, agar seluruh rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna, sentosa dan bahagia.
Akhir kata, dengan lafaz bismillahirrahmaanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan Majlis ini. Maka, sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku berdasarkan penilaian risiko yang telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri Johor dan bagi memberi ruang kepada pengurusan Dewan Negeri untuk meningkatkan tahap keselamatan serta pematuhan SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19, di bawah Peraturan Tetap Bilangan 7(3), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor, maka saya tangguhkan mesyuarat sehingga hari Ahad, 22 Ogos 2021 jam 9.30 pagi. Insya-Allah.
Persidangan ditangguhkan pada jam 10.25 pagi.