Johor · 6 December 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 317 turns · 30,694 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat). Alhamdulillah kita berada di hari yang ketujuh Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2021) Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Yang Berhormat Parit Yaani, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 1.
Merujuk kepada kekalutan ekonomi mutakhir ini, tidak dinafikan bahawa sektor ekonomi di negeri Johor juga turut terjejas terutama peniaga-peniaga kecil di seluruh negeri Johor. Sejauh manakah Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) memainkan peranan membantu PKS di negeri Johor.
Jemput, YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, Bismillahirahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan YB Parit Yaani. Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB) sebagai agensi pelaksana utama usaha-usaha pembangunan usahawan di negeri Johor sentiasa mengambil langkah proaktif dan holistik dalam memberi bantuan, latihan serta bimbingan bagi membantu usahawan-usahawan mikro dan PKS negeri ini. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak PUJB Sdn Bhd adalah seperti berikut bermula dengan e-Bazar Makmur Johor, Hari Bertemu Pelanggan, Geran Orang Lokal, Program 3P iaitu Geran Food Truck, Program Latihan Usahawan Johor, PUJB Business Talk menerusi FB PUJB, Johor e-Market Place, Pusat Data dan Aplikasi Holistik Digital Negeri Johor, Misi jejak PKS Johor, Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti, Anugerah Keusahawanan Johor, Program Pemasaran Usahawan Johor, Padanan Perniagaan, X-Cross Usahawan Johor dan lain-lain. Jadi, yang saya sebut tadi, ada yang telah disempurnakan dan ada yang sedang dalam on going, dalam perjalanan dan yang ada juga akan kita laksanakan. Terima kasih.
Ya, Parit Yaani, soalan tambahan.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan saya berdasarkan kepada kemelut ekonomi yang kita sedia maklum banyak di kalangan SME ataupun pengusaha-pengusaha kecil, penjaja-penjaja kecil tutup perniagaan mereka. Saya ingin dapatkan maklumat, berapa banyak peniaga-peniaga kecil yang direkodkan yang di bawah makluman PKS, ada yang juga di bawah makluman PUJB telah tutup perniagaannya. Dan, berapa ramai staf yang terlibat dan apakah bentuk-bentuk bantuan selain yang telah disebutkan tadi untuk memastikan yang
terlibat, berhenti dan juga ataupun diberhentikan itu dapat menyara keluarga mereka, kerana kita sedia maklum antara yang terlibat yang menjadi gelandangan pada hari ini adalah mereka yang kehilangan pekerjaan kerana masalah COVID dan juga pemberhentian secara tiba-tiba. Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan Parit Yaani. Soalan tadi berbunyi peniaga-peniaga kecil, sederhana, semua terdiri dalam golongan PKS. Ia juganya dalam situasi ada syarikat yang berdaftar dan ada juga syarikat yang tidak berdaftar. Jadi, kita tidak mempunyai data-data syarikat yang tidak berdaftar.
Untuk makluman YB Parit Yaani, jumlah syarikat yang ditutup iaitu syarikat milik tunggal, perkongsian dan peniaga-peniaga kecil daripada bulan Mac hingga Oktober sebanyak 2,520 itu dalam rekod kami, yang mana kita dapat daripada SSM. Daerah yang tertinggi sekali adalah Johor Bahru sebanyak 1,215. Bagi pendaftaran syarikat yang baru pula, jumlah pendaftaran syarikat yang baru lebih besar tinggi, lebih besar banyak daripada yang tertutup sebanyak 59,000 di negeri Johor, juga termasuk yang saya sebut tadi, milik tunggal, perkongsian dan sendirian berhad. Jadi, dalam masa pandemik COVID-19 kita telah berjaya membawa mereka, membimbing mereka secara bantuan yang kita bagi dan pertumbuhan angka syarikat-syarikat yang berjaya ditubuhkan amat baik. Jadi, ini bukanlah satu proses pemutihan tetapi ia nampak keberkesanan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak PUJB.
Jadi, bagi peniaga-peniaga kecil yang tak berdaftar telah saya sebutkan pada tempoh hari, kita akan buat satu pendekatan dengan pihak, saya pun dah berbincang dengan pihak YB EXCO KPKT, PBT, untuk kita memutihkan mereka. Memutihkan mereka tu dengan erti kata bukan kita nak gunakan enforcement untuk clear kan mereka, kita nak menghalalkan mereka dan kita pertama sekali kita akan minta diberi sedikit kelonggaran untuk memberi mereka sedikit masa dalam masa keadaan sekarang ni sehingga dalam masa yang terdekat dan mereka ini akan didaftarkan dan akan diberi tempat untuk mereka berniaga. Inilah sahaja cara yang kita dapat membantu mereka untuk menyara hidup mereka, jadi mereka tidak terpinggir dan kita dengan itu juga kita dapat mengurangkan penjaja-penjaja yang tidak berlesen di tepi jalan. Terima kasih.
Ya, Kota Iskandar, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan jawapan diberikan YB EXCO. Sebagaimana kita tahu bahawa industri PKS memberikan sumbangan besar dan signifikan kepada KDNK negara dan daripada belanjawan, kita dinyatakan bahawa kerajaan memperuntukkan sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar termasuk pinjaman RM100 juta, Geran Lokal RM3 juta dan yang lain-lain. Soalan saya adalah daripada keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi Ibrahim Johor ataupun IJEC dicadangkan supaya kerajaan negeri memohon bantuan RM1 bilion bagi menggerakkan industri PKS dan juga sektor pembuatan, sejauh manakah permohonan ini dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan?
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih soalan tadi tu, untuk makluman YB memang dalam usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan bantuan PENJANA daripada federal, kita pun baru-baru ini kita ada bermesyuarat dengan Menteri, Menteri bersama dengan rombongan daripada pihak-pihak institusi kewangan begitu juga TEKUN, Bank Rakyat dan kita membentangkan dan menzahirkan apa yang kita perlu dan berapa jumlah yang kita perlu untuk kita
membantu peniaga-peniaga dan PKS-PKS di negeri Johor. Dan, antara perkara yang kita sentuh peranan, peranan Bank Rakyat, alhamdulillah memberikan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membantu negeri dan memberi pinjaman kepada PKS di negeri Johor. Dan, perkara ini pun dah, dah hampir selesai perbincangan itu cuma dia punya mekanisme dia sahaja untuk akan kita perincikan dan kita juga sedang menyentuh cost of fund, dia punya spread margin of financing dan benda-benda perkara macam ini kita ambil kira dan juga jangka masa pinjaman agar dia tidak membebankan kepada peminjam dan kita harap peminjam-peminjam pun juga akan diberi kemudahan, kemudahan dengan sokongan pihak Credit Guarantee Corporation agar kurang birokrasi. Jadi, benda ini dalam masa terdekat akan dapat kita laksanakan. Insya-Allah, terima kasih.
Soalan seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Johor Lama.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.
Mohon kerajaan negeri membantu peniaga-peniaga pasar lambak, pasar malam, bazar dan sebagainya yang terjejas teruk akibat COVID-19. Mohon disediakan pampasan atau alternatif lain agar dapat membantu peniaga-peniaga untuk terus bertahan.
Jemput Yang Berhormat Parit Raja. Pasir Raja, sorry, minta maaf.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.
Adakah kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mewujudkan inisiatif siri kedua bagi membantu para peniaga kecil khususnya yang terjejas dengan PKPB kali ini?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Lama, Yang Berhormat Pasir Raja atas soalan, izinkan saya jawab bersekali. Soalannya lebih memfokuskan apakah bantuan, pampasan automatik, inisiatif siri kedua kepada peniaga pasar malam, pasar pagi, peniaga kecil ataupun peniaga IKS.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bermula pada tahun ini, tahun 2020 bila berlakunya pandemik COVID-19 kerajaan negeri telah membagi insentif, pengecualian lesen dan juga premis sepanjang tahun 2020 ni yang melibatkan 57,250 peniaga dengan implikasi kewangannya RM13,078,765.00. Bagi tahun hadapan seperti yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat dalam pembentangan Bajet 2021, beberapa insentif bantuan one-off akan disampaikan kepada peniaga-peniaga kecil yang jelas kita tahu, mereka dalam kepayahan, kesusahan menghadapi pandemik COVID-19 ini.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada tahun hadapan akan diberi pengecualian bagi lesen melibatkan penjaja, peniaga PKS dan yang lain-lain, kalau boleh saya bacakan secara ringkas YB Speaker, penjaja ini ada 24,616 orang di seluruh Johor dan peniaga PKS ada 11,149, bilangan kedua-duanya adalah 35,765 pengecualian lesen ini akan membawa implikasi dan kehilangan hasil RM51 juta. Bagi premis yang dikecualikan bayaran sewanya, premis PBT ni ada 6,364 yang melibatkan kehilangan hasil ataupun implikasi RM8.2 juta, pasar awam, 4,328, implikasi kewangan atau kehilangan hasil RM2.7 juta, pasar pagi 5,858 melibatkan kehilangan hasil...
Semangat sikit, Yang Berhormat.
RM1.058 juta.
Yang Berhormat, semangat sikit.
Pasar malam..
Selalu Rengit ni dia semangat tapi hari ini dia slow aje. Ada masalah ke Yang Berhormat? (Dewan ketawa).
Saya bukan, nanti kena tegur Speaker panjang sangat. Ikut jalan highway, saya ingat hari ni nak ikut jalan bandaran. (Dewan ketawa).
Bukan isu panjang, isu semangat sikit.
Ok, 29,800, 29,017 orang yang melibatkan kehilangan hasil RM3.1 juta, Yang Berhormat. Jadi, implikasi kewangan lebih kurang RM15 juta, hasil RM5 juta lebih kurang RM21 juta. Dan, insentif kedua yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat ialah dari segi bantuan one-off kepada peniaga-peniaga ini Yang Berhormat, satu orang akan dapat RM500.00 walaupun dia meniaga dekati pasar malam. Saya beri contoh, pasar malam Parit Sulong, pasar malam Semerah, pasar malam Batu Pahat, dia cuma boleh dapat bantuan one-off sekali sahaja. Kalau kira sekali tu banyak dia dapat, boleh jadi RM3,000.00. Yang itu, kita bagi sekali sahaja bantuan one off ini. Antara langkah-langkah lain Yang Berhormat Tuan Speaker yang akan kita ambil dalam membantu dan mengusahakan agar peniaga-peniaga ini dapat kita bantu dalam keadaan kegetiran ialah termasuklah mereka yang belum ada lesen Yang Berhormat. Kita akan bagi kemudahan ruang petak niaga kepada peniaga kecil dan food truck. Saya dah berbincang dengan semua YDP minta bagi kemudahan kepada semua peniaga-peniaga ini termasuk peniaga yang ada lesen dan yang tak ada lesen berniaga di kawasan-kawasan petak yang boleh kita fikirkan boleh membantu. Tapi jangan melibatkan dari segi kesesakan lalu lintas. Sebab ini perlu, keadaan ini perlu untuk kita bantu.
Kita akan ambil, kita dah bincang dengan Majlis dan insya-Allah, kita bagi lesen ini kepada peniaga-peniaga yang tak dapat lesen ini segera dalam tempoh satu hari. Dan insya-Allah benda ini akan saya pantau.
Dan, satu lagi yang penting ini membenarkan gerai-gerai di depan rumah kita buat kepada peniaga-peniaga yang terjejas, yang kehilangan kerja boleh buat gerai mereka di depan rumah tapi dengan syarat tidak mengganggu lalu lintas, itu yang paling penting. Dan selepas berniaga, gerai ini perlu dibuka. Kita tak nak lepas niaga, gerai ni bersepah di merata tempat, yang ini kita tak nak Yang Berhormat. Jadi, apa pun dalam hal ini kita cuba bantu peniaga dan insya-Allah kerajaan negeri Johor akan sentiasa komited dalam usaha nak membantu peniaga kecil, peniaga PKS dalam mendepani pandemik COVID-19. Yang Berhormat Tuan Speaker, itu jawapan yang dapat saya sampaikan.
Ha, itu baru Rengit yang sebenar. Jemput, soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya. Untuk mengelakkan daripada pihak-pihak lain mengambil kesempatan daripada program-program khas ini, kita tengok terlalu meluas dan merata dan nampak seolah-olah nantinya akan terjadi seperti tidak, tanpa kawalan kepada khasnya kepada peniaga pasar lambak dan peniaga-peniaga kecil. Adakah pihak PBT atau Majlis mempunyai mekanisme terancang untuk mengelakkan daripada perkara-perkara ini berlaku
dan siapa patutnya memantau ataupun membantu pihak Majlis? Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Jemput, YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam keadaan cabaran pandemik COVID ini, peniaga walaupun kita tengok dia berniaga ramai orang pun tak datang Yang Berhormat. Yang ini sebagai satu galakan supaya mereka dapat menambah masa meniaga mereka. Kalau pasar malam, pasar pagi ke dia terhad, jadi kita boleh benarkan mereka meniaga seperti yang saya sebut. Hasratnya yang utama, mereka boleh panjangkan masa meniaga untuk mendapatkan tambahan pendapatan. Syarat utamanya, yang penting ialah mereka perlu menjaga kebersihan tapak. Kedua, mereka mesti menjaga soal keselamatan lalu lintas. Itu dua perkara yang menjadi perkara penting dalam kita nak menentukan, nak memberikan petak perniagaan kepada mereka.
Mekanisme yang nak disebutkan pihak PBT akan bekerjasamalah dengan persatuan-persatuan dan juga mungkin Wakil Rakyat yang boleh membantu dalam hal ini, supaya mereka yang benar-benar yang kita lihat dalam keadaan tertekan, terdesak ataupun mereka menghadapi kesusahan ini yang kita bantu. Maksud saya, PBT, persatuan dan juga Wakil Rakyat boleh membantu dan mungkin kita akan wujudkan jawatankuasa di peringkat PBT untuk menyusun dan memantau, merancang, menyusun dan juga memantau program yang saya sebutkan tadi, Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya Pasir Raja, soalan tambahan.
Soalan tambahan saya, apakah peranan KPDNHEP dalam membantu peniaga dan penjaja serta pengguna dalam fasa COVID-19 dan sejauh manakah KPDNHEP memainkan peranannya? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Saya jawab bagi pihak KPDNHEP boleh?
Boleh YB.
Tak apa, terima kasih kepada Pasir Raja. Saya ingat, insya-Allah Yang Berhormat Tuan Speaker, kita akan pastikan kerja, usaha-usaha ini dapat kita selaraskan dengan KPDNHEP ya lebih kurang bunyi dia, kalau tersalah sebutlah, yang penting dari segi kawalan harga, kualiti barang dan juga kawalan harga. Saya akan bincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna untuk melihat perkara ini supaya peniaga dapat menjual barang mengikut harga yang sepatutnya, penerima dapat menerima, membeli barang dalam kualiti yang baik yang terkawal. Terima kasih.
Ya Buluh Kasap, jemput soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya cuma ingin menarik perhatian tentang gerai-gerai yang berniaga di tepi jalan ataupun dalam rizab JKR. Sejak kebelakangan ini, pihak Majlis tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga-peniaga yang berniaga di tepi jalan walaupun sebelum ini mereka telah lama berniaga dengan syarat mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak JKR. Jadi adakah, persoalan saya, adakah kenyataan Yang Berhormat EXCO tadi yang
memberikan kemudahan atau pengecualian lesen kepada peniaga-peniaga ini termasuk juga mereka yang sebelum ini berniaga di kawasan rizab jalan? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, peniaga di tepi jalan ini kita bagi dua, satu yang kekal, yang membina bangunan kekal ya, ataupun separuh kekal. Yang kita galakkan ini mereka yang hanya memasang meja, payung, itu boleh, tapi kalau yang kekal ini, dia dari segi peraturannya kena lihat dari segi JKR punya kawasan rizab JKR dan biasanya kita akan merujuk kepada JKR untuk mendapatkan kepastian sama ada kawasan ini boleh gunakan. Tapi yang kita nak sebut, kita nak galakan ini mereka boleh berniaga kat tepi jalan, tidak mengganggu lalu lintas, tidak menjejaskan kebersihan ya, kita boleh bagi lesen tapi syaratnya tak adalah bangunan kekal, separuh kekal. Ya, itu yang saya maksudkan dalam program yang akan kita beri kelonggaran kepada peniaga-peniaga di kawasan PBT di negeri Johor ini Yang Berhormat Tuan Speaker.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Pekan Nanas, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 4.
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk menggalakkan pekebun kelapa sawit untuk membuat permohonan sijil MSPO?
Jemput, YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, kemampanan pada masa ini merupakan salah satu aspek penting yang harus dititikberatkan dalam pembangunan sesuatu industri. Memandangkan kepada kepentingan ini, setiap produk yang dikeluarkan perlu dihasilkan secara mampan agar boleh diterima di semua peringkat dunia. Amalan pertanian yang belum mampan juga penting untuk kesinambungan produktiviti ekosistem pertanian. Sebagai contoh, tanaman sawit merupakan komoditi pertanian terbesar di Malaysia dan ianya perlu dihasilkan secara mampan bagi memastikan penerimaan oleh pasaran dunia. Justeru, industri sawit pada masa ini telah bekerjasama dalam mewujudkan pelbagai piawaian yang mengandungi elemen kemampanan.
Oleh yang demikian, pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah ditugaskan untuk menggubal satu piawaian untuk diwartakan sebagai piawaian Malaysia ataupun MS. Piawaian ini dinamakan Minyak Sawit Mampan Malaysia ataupun Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan MSPO telah dibangunkan bersama dengan komuniti sawit negara, pakar-pakar kelestarian dan SIRIM Berhad. Piawaian MSPO telah diwartakan pada 5 September 2013. Sehubungan dengan itu, seluruh pihak pengeluar minyak sawit di Malaysia yang merangkumi sektor pengilangan, perladangan dan pekebun kecil sawit mestilah dipersijilkan dengan Skim Persijilan MSPO.
Pelbagai langkah telah diambil oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia dalam memastikan semua pekebun kecil sawit memohon dan seterusnya dipersijilkan dengan persijilan MSPO. Antara langkah yang telah diambil adalah dengan melipat gandakan usaha untuk bersemuka dengan pekebun-pekebun kecil melalui pelaksanaan program latihan dan taklimat MSPO di seluruh daerah dalam negeri Johor. Ianya dipertanggungjawabkan kepada pejabat MPOB di cawangan di daerah-daerah dan setiap mukim terdapat Pegawai Tunas
MPOB atau duta kecil MPOB yang berperanan untuk memberi khidmat nasihat kepada pekebun-pekebun kecil dan terdapat 86 Pegawai Tunas MPOB di seluruh negeri Johor.
Melalui program latihan MSPO, pekebun kecil akan diberi penerangan yang lebih jelas mengenai keperluan MSPO dan seterusnya berdaftar dengan MPOB untuk melaksanakan MSPO. Bagi memastikan pekebun kecil mendapat maklumat yang mencukupi untuk mematuhi keperluan yang terkandung dalam MSPO, MPOB bekerjasama erat dengan pelbagai jabatan dan agensi lain seperti Jabatan PERHILITAN, Jabatan Pertanian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor dalam memberi penerangan kepada pekebun kecil dalam setiap sesi latihan yang dianjurkan oleh MPOB. Kerjasama dengan agensi seperti FELDA, RISDA dan FELCRA turut diadakan khusus untuk pekebun kecil tersusun ataupun PKT di bawah agensi-agensi tersebut.
Dalam mematuhi keperluan yang terkandung MSPO, terdapat pelbagai kesukaran yang dihadapi oleh pekebun kecil dalam melaksanakan MSPO terutamanya isu berkaitan syarat nyata tanah. Maka dengan itu, MPOB bekerjasama rapat dengan Pejabat Tanah dan Galian Johor dalam membantu pekebun-pekebun kecil yang terjejas untuk memudahkan mereka mendapatkan penukaran syarat nyata tanah. Bagi tujuan itu, kerajaan negeri Johor sebelum ini telah menyediakan pelbagai inisiatif seperti Approval Over Submission ataupun AOS dan pengurangan kadar bayaran denda sehingga 50% bagi menarik minat pekebun kecil untuk mendaftarkan MSPO. Dan dalam pada masa yang sama mematuhi Akta Kanun Tanah Negara 1965. Tambahan lagi, sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan Johor 2021 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kerajaan akan melaksanakan bagi inisiatif pengurangan 50% daripada denda ubah syarat melalui program pemutihan Approval Over Submission pertanian kepada pertanian yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2021 hingga 31 Mac 2021. Seramai 16,857 pekebun kecil akan mendapat manfaat dengan pengurangan denda sebanyak RM8.2 juta daripada kerajaan negeri.
Inisiatif ini dapat membantu pekebun yang mengusahakan tanah di bawah 10 ekar untuk memperoleh lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan persijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). Bagi menggalakkan pekebun kecil mendapat MSPO, kerajaan telah menyediakan insentif MSPO khusus untuk pekebun kecil bagi menampung kos pelaksanaan persijilan MSPO. Bagi pekebun kecil persendirian, kos persijilan MSPO adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pada kadar RM135.00 untuk sehektar. Bagi negeri Johor, kerajaan telah menanggung sebanyak RM3.2 juta bagi menampung kos tersebut. Insentif yang disediakan oleh kerajaan ini adalah merangkumi pembiayaan terhadap kos latihan berkaitan MSPO, kos pengauditan, kos rak simpanan bahan kimia, kos peralatan perlindungan diri (PPE) dan kos penukaran syarat nyata tanah. Bagi pekebun kecil tersusun pula, insentif RM55.00 per hektar disediakan oleh kerajaan untuk melaksanakan MSPO di kebun-kebun mereka.
Kerajaan amat komited dalam memastikan semua pengusaha sawit di Malaysia dipersijilkan MSPO termasuklah pekebun kecil. Oleh itu, kerajaan sedang melancarkan program promosi mandatori MSPO khusus untuk pekebun kecil secara bersepadu melalui medium media massa dan juga media sosial di seluruh negara. Sekian, terima kasih.
Ya Pekan Nanas, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tindakan kompaun untuk pengusaha kelapa sawit yang belum membuat permohonan MSPO akan bermula 1 Julai 2021 dan mulai Januari 2022 pengusaha yang belum memulakan persijilan MSPO akan diambil tindakan penggantungan lesen dan tidak boleh menjual hasil mereka. Oleh itu, kita dapati bahawa ubah syarat untuk kegunaan kebun kelapa sawit adalah mandatori dan semakin mendesak mengikut dasar kerajaan berbanding dengan tanaman
lain. Sebab itu, Pekan Nanas menyambut baik dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan denda ubah syarat sebanyak 50% kepada pemilik tanah yang membuat ubah syarat tanah, tapi memandangkan...
Soalan Yang Berhormat, soalan.
Keperluan untuk mengubah syarat dalam bidang pekebun kelapa sawit. Persoalan saya, adakah kerajaan ataupun Jabatan Pertanian bersedia untuk berunding dengan Pejabat Tanah lagi untuk memohon menghapus kirakan semua denda yang akan bangkit apabila mengubah syarat tanah kepada kelapa sawit memandangkan keperluan untuk mengubah syarat tanah kepada kelapa sawit adalah semakin mendesak dan minta tarif.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, hasrat untuk mempersijilkan pengusaha-pengusaha kebun sawit, hasil sawit ini dengan sijil MSPO adalah demi kebaikan pengusaha dan industri sawit itu sendiri. Masalah yang kita dapati, respons daripada pengusaha-pengusaha untuk tidak mendaftar dan mengusahakan untuk pendaftaran ini bukan hanya kerana denda semata-mata. Tetapi adalah persepsi dan usaha ambil tahu pihak yang berkenaan. Justeru itu, kerajaan telah menyediakan kemudahan untuk 50% dan malahan saya ingin maklumkan, saya dimaklumkan oleh bahagian PTG Negeri Johor. Ubah Syarat digalakkan untuk kepada tanaman atas tanah pada waktu ini. Kerana kita hendak supaya mereka mengusahakan sepertimana yang ada dalam syarat nyata dalam hak milik. Jadi dalam hal ini Yang Berhormat Tuan Speaker, yang penting adalah kesedaran pengusaha, sebab itu kerajaan mengambil inisiatif melalui organisasi ke organisasi, LPP nya, Persatuan Pekebun-Pekebun Kecilnya untuk mempastikan pengusaha-pengusaha ini terus berusaha untuk mendapatkan sijil MSPO dan pada masa yang sama sepertimana Yang Berhormat Tuan Speaker maklum dan Ahli Dewan yang maklum bahawa keperluan pensijilan MSPO ini adalah amat penting untuk kemampanan industri ini. Justeru, dalam hal ini sehingga kini tidak ada hasrat untuk menghapuskan 50% denda. Terima kasih.
Soalan seterusnya. Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 5.
Bolehkah pihak kerajaan membenarkan pelajar Malaysia yang menuntut pelajaran di Singapura khususnya umur 12 ke bawah supaya mereka dapat di kuarantin di rumah setelah mendapati keputusan swab test negatif?
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah atau Home Surveillance Order telah dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 10 Jun 2020. Walau bagaimanapun, bermula 24 Julai 2020 arahan kuarantin di stesen kuarantin telah pun dikuatkuasakan semula oleh pihak kerajaan akibat ketidakpatuhan PUS terhadap arahan Home Surveillance Order yang telah pun diberikan. Jadi, bermula 24 Julai, kesemua pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa adalah diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Terima kasih.
Ya Johor Jaya, jemput. Soalan tambahan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan asal saya adalah berkenaan bagi mereka iaitu pelajar yang mereka belajar di Singapura adakah mereka boleh dibenarkan home quarantine sebab apa yang kita tahu bagi mereka yang berumur 12 ke bawah, mereka mungkin tidak dapat kuarantin di kuarantin stesen dan ibu bapa mereka memang bimbang atas keselamatan mereka sekiranya mereka berada sendiri di quarantine centre. Dan soalan tambahannya, itu adalah soalan asal saya dan soalan tambahan saya adalah seperti apa yang kita tahu bagi rakyat Malaysia yang mereka memegang working permit, mereka dapat pulang ke Malaysia melalui program PCA. Walau bagaimanapun, bagi mereka iaitu SPR Singapore, PR mereka turut merupakan rakyat Malaysia mereka tidak dapat menikmati kemudahan ini. So, adakah rancangan pihak kerajaan supaya mereka SPR ini pun dapat pulang ke Malaysia melalui program PCA ini kerana mereka, ada yang mereka rasa tidak adil bagi mereka tidak dapat menikmati program ini. Dan selain daripada itu ada tak kategori, mana-mana kategori yang mereka dibenarkan atau exempted quarantine for example, ambil contoh wanita yang hamil atau mereka yang mempunyai depresi. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Ini soalan 3 dalam 1 ini sebenarnya. Tak apalah Johor Jaya punya pasal. Yang Berhormat Speaker, seperti saya katakan tadi bahawa secara dasarnya, tidak ada Home Surveillance Order walaupun ianya adalah kanak-kanak ataupun dewasa. Tetapi selalunya dalam general rule kita ada exemption, exemption atau general rule. Jadi, apabila dalam beberapa kategori yang tertentu dan perlu adanya home surveillance, maka sebarang permohonan untuk kuarantin di rumah boleh dimohon. Dan ia perlu di email kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, mungkin saya boleh sebut email address kepada Yang Berhormat Johor Jaya iaitu email nya ialah kepada [email protected] saya ulang balik [email protected] dan berserta dengan dokumen-dokumen dan bukti-bukti berkaitan untuk pertimbangan selanjutnya oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia. Jadi, dalam konteks pelajar umur 12 tahun ataupun under age contohnya yang mengembara seorang diri untuk memasuki negara kita, ibu bapa ataupun penjaga bolehlah mengemukakan permohonan tersebut kepada email yang saya nyatakan tadi dan ia akan dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.
Yang Berhormat Speaker, memang ada kes-kes yang tertentu di mana kita memberi pelepasan untuk home surveillance contohnya dalam kes-kes mereka yang mempunyai penyakit kronik contohnya. Apabila kita dapat membuktikan bahawa seseorang itu ada depression ataupun penyakit sawan contohnya dan di mana ini akan menyukarkan orang tersebut untuk duduk berseorangan dalam quarantine centre jadi dalam kes-kes seperti ini permohonan boleh dibuat begitu juga kepada kategori ibu mengandung ataupun ibu yang selepas bersalin yang memasuki tanah air kita, mereka juga boleh membuat permohonan dan ia akan dipertimbangkan seperti saya katakan tadi, case by case, case basis dan pernah mendapat pelepasan bagi mereka tersebut. Begitu juga apabila seorang kanak-kanak berumur, bawah umur ingin memasuki kepada negara kita, ibu bapa juga ataupun penjaga boleh menawarkan untuk menemani kanak-kanak tersebut di quarantine centre. They offer themselves untuk menduduki dalam quarantine centre sekiranya tidak mendapat home surveillance punya pelepasan. Dalam kes-kes seperti ini begitu juga permohonan boleh dibuat untuk ibu bapa menawarkan diri untuk menemani anak dalam quarantine centre tersebut. Dan dalam kes-kes seperti itu akan ada satu caj yang akan dikenakan kepada ibu bapa.
Yang Berhormat Speaker, soalan yang berkaitan dengan RGL dan PCA yang telah pun dikemukakan oleh Yang Berhormat Johor Jaya, iaitu Periodic Commuting Arrangement dan Reciprocal Green Lane. Untuk maklum Ahli Dewan yang mulia ini, program ini telah bermula pada 14 Ogos 2020. Dan, untuk makluman Dewan ini daripada tarikh tersebut
sehingga 5 Disember sebanyak 15,009 orang telah pun memasuki negara kita menggunakan PCA, Periodic Commuting Arrangement ini dan seramai daripada 14 Ogos sehingga 5 Disember seramai 2,541 orang telah pun menggunakan Reciprocal Green Lane (RGL) untuk memasuki ke negara kita. Jadi, dalam RGL so far tidak ada kes positif tetapi dalam PCA setakat hari ini kita mengesan 3 kes positif. Jadi, untuk makluman Dewan yang mulia ini program PCA dan RGL ini adalah perbincangan di antara kerajaan dengan kerajaan Malaysia dengan kerajaan Singapura. Jadi apabila mereka menetapkan dasar PCA ini, memang ramai yang pelik tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka yang ada work permit sahaja, work permit sahaja yang melayakkan diri mereka untuk memohon di bawah kategori PCA ini. Jadi, dalam konteks tersebut sekiranya, walaupun ada permit kerja tetapi kalau mereka adalah PR Singapura, ianya tidak melayakkan mereka untuk memohon. Seperti saya katakan tadi, memang kita mendapat banyak permintaan dan permohonan khususnya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi mereka bukan under work permit tetapi mereka adalah PR. Jadi dalam pada masa ini, kerajaan juga telah membuat beberapa mesyuarat dan kita dalam mempertimbangkan supaya mereka yang ada work permit juga dibenarkan untuk memasuki dalam program PCA ini tetapi belum ada keputusan, tetapi saya rasa dan dalam sedikit masa lagi satu keputusan baik akan dicapai. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya Stulang, jemput.
Terima kasih YB EXCO. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pengecualian-pengecualian untuk kes-kes yang diutarakan YB EXCO adalah case by case basis. Jadi apa yang kita tekankan di sini adalah sebenarnya ramai rakyat Malaysia, ramai rakyat Malaysia yang telah pun berada di Singapura lebih daripada 90 hari. Untuk kategori PCA, mereka yang sudah berada di Singapura selama 90 hari boleh balik ke Malaysia tanpa menjalani kuarantin di pusat kuarantin. Jadi, sudah ada ramai rakyat Malaysia yang sudah berada di Singapura lebih daripada 90 hari. Kemudian di Singapura sekarang merupakan kawasan ataupun negara yang berisiko rendah, jadi ramai meminta agar dasar dibuat dari peringkat KKM, peringkat persekutuan untuk terus memberi kelonggaran agar mereka yang balik daripada Singapura baik mereka under PCA, pemastautin tetap Singapura, long term pass, student pass ataupun social visit pass dan sebagainya yang sudah berada di Singapura 90 hari bila masuk ke Malaysia dibenarkan untuk kuarantin di rumah. Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Speaker, terima kasih atas soalan tambahan Stulang. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, antara orang yang paling agresif advocate supaya sempada Malaysia – Singapura dibuka adalah tak lain dan tidak bukan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita sendiri. Dalam setiap mesyuarat dengan peringkat pusat dan sebagainya kerajaan Johor merayu, bukan sahaja merayu membuat segala permohonan dan juga mengemukakan SOP-SOP tertentu supaya border di antara Malaysia – Singapore ini di buka. Tetapi seperti saya katakan tadi, bahawa keputusan ini bukan sahaja di peringkat negeri, walaupun di peringkat negeri kita memang inginkan, ok kita memang inginkan border di antara Malaysia – Singapura ini dibuka supaya things will become as usual dan membolehkan rakyat kita yang terkandas ataupun lama tak kembali untuk kembali dan sebagainya.
Dan, menurut dalam konteks kesihatan juga kita telah pun mencadangkan berbagai SOP kepada peringkat pusat. Jadi, itu adalah stand kita sebenarnya, stand kita. Tetapi as of now dengan izin, as of now memang seperti saya katakan tadi dalam konteks PCA itu sendiri apabila ada perbincangan kerajaan Malaysia dengan Singapura untuk introduce this kind of
programme seramai lebih 15,000 orang sudah pun memasuki Malaysia. Mereka yang bekerja di Singapura yang tak dapat jumpa dengan keluarga dah masuk, dah menghabiskan cuti mereka dengan keluarga dah pun kembali dan sebagainya. Jadi, ini adalah antara dua negara, di antara dua negara mungkin sepertimana yang dikatakan Stulang tadi, hari ini keadaan di Singapura normal tetapi mungkin pandangan di sebelah sana pula menganggap bahawa keadaan di sini mungkin tidak begitu normal. Ada sahaja kes-kes baru yang timbul dan sebagainya.
Jadi, kita kena meyakinkan kedua-dua pihak apabila timbul satu keadaan bahawa kedua-dua kerajaan yakin bahawa things are normal rakyat yang memasuki negara ke sana dan ke sini juga adalah selamat dan sebagainya maka akan timbul satu keadaan seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Stulang, bahawa kita akan menggalakkan lebih ramai orang untuk keluar dan masuk. In fact, dalam keadaan sekarang juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar menerusi kerajaan negeri juga telah mencadangkan DCA dan sebagainya. Supaya kategori-kategori lain dibenarkan memasuki. Tetapi ini juga bergantung kepada agensi-agensi pusat, kementerian-kementerian luar, Kementerian Kesihatan kedua-dua buah negara untuk membuat pertimbangan. Tetapi saya ingin meyakinkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat as far as kerajaan negeri is concern, kita memang aggressively advocate supaya things back to normal, border dapat dibuka dan juga ini akan membawa kebaikan bukan sahaja dalam konteks kebajikan masyarakat tetapi dalam konteks ekonomi kedua-dua buah negara dan negeri. Terima kasih.
Yang Berhormat. Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO berkenaan jawapan yang diberikan. Berkenaan dengan perkara ini, saya pernah membuat satu permohonan untuk satu wanita yang hamil, lebih kurang 7 bulan dan dia mempunyai simptom syncope attack yang telah dikenal pastikan oleh, dia duduk di Singapura dan telah dikenal pastikan oleh doktor di Singapura dan dia juga mengalami kedudukan bayi yang tidak stabil. Dia membuat permohonan kepada HSO team, pasukan HSO tetapi ditolak dan selepas saya membuat rayuan bagi pihak beliau juga ditolak. Dan, dia akan deliver pada bulan 1. So, persoalannya ialah bolehkah kerajaan mempertimbangkan untuk mereka, khususnya wanita yang hamil yang mempunyai kesusahan sebab suaminya perlu bekerja, tidak dapat mengiringi wanita hamil itu balik ke Johor bersama-sama. So, dia tidak ada cara yang lain. So, saya minta pihak kerajaan untuk sama ada boleh pertimbangkan khususnya untuk wanita yang hamil kalau mungkin sudah hamil lebih kurang 6 bulan, 7 bulan mereka nak balik ke Johor, boleh, boleh dikecualikan tak, boleh dipertimbangkan bukan case by case, mungkin mempertimbangkan mereka untuk menjalankan kuarantin di rumah, adakah pihak kerajaan boleh mempertimbangkan perkara ini?
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Macam KKM lah. Jemput, jemput.
Sebenarnya, seperti yang saya katakan tadi, buat masa ini ialah case by case. Tidak ada dasar yang menyeluruh yang mengatakan sekiranya seseorang wanita itu mengandung, boleh automatik, tidaklah begitu, kerana setiap orang dia punya kedudukan kesihatannya berbeza. Ada yang walaupun mereka mengandung tetapi ditempatkan di stesen kuarantin mereka is ok tetapi walaupun mereka ditempatkan di stesen kuarantin saya ingin memberi keyakinan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, kes yang mempunyai something, macam kes-kes mengandung dan
sebagainya sekiranya telah pun dimaklumkan kepada quarantine centre, Kementerian Kesihatan dalam konteks staf-staf Kementerian ini akan membuat lawatan yang lebih kerap dengan pihak mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya kalau banding dengan orang yang normal dan kita sekiranya ada apa sahaja komplikasi yang timbul ketika mereka di kuarantin, mereka akan segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan ini pernah berlaku, ini pernah berlaku bukannya kerana mereka di kuarantin, kita biarkan mereka begitu sahaja.
Jadi, kalau dalam kes Yang Berhormat, sekiranya ada kes-kes yang complicated, yang perlukan perhatian mungkin boleh menghubungi saya sendiri, saya sedia untuk membantu, kita akan cuba tengok bagaimana untuk membantu mereka yang ada komplikasi dalam kes-kes yang dinyatakan oleh YB tadi. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Parit Raja, jemput.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 6.
Golongan OKU atau rentan antara yang terjejas akibat wabak pandemik ini. Minta dinyatakan peranan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dalam membantu golongan ini agar memastikan golongan ini mampu untuk menjana pendapatan dalam keadaan norma baharu ketika ini?
Jemput YB EXCO.
Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh, salam sejahtera, Salam Makmur Johor. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, menjawab soalan Yang Berhormat Parit Raja, YPKDT memandang serius keperluan OKU di negeri ini. YPKDT telah mewujudkan satu bahagian di bawah organisasi jabatan yang memfokuskan pembangunan OKU iaitu Unit Pembangunan OKU. Unit ini bertindak menyantuni golongan OKU dalam membantu mereka menjana pendapatan apabila golongan ini terus terkesan berikutan pandemik COVID-19 ini.
Bagi tahun 2020, YPKDT telah melaksanakan Program Latihan dan Promosi bagi golongan OKU. Inisiatif ini yang dilaksanakan bagi membantu golongan ini mampu untuk menjana pendapatan mereka sendiri dengan memberikan latihan kemahiran dalam bidang pembuatan makanan iaitu bakery dan bahulu.
Pada tahun ini, seramai 50 orang OKU yang telah menyertai PLP ini yang melibatkan dari pelbagai jenis OKU. Dari jumlah ini seramai 30 orang OKU yang telah dikenal pasti berpotensi dalam bidang ini dan seramai 15 orang OKU yang telah berjaya menerima bantuan peralatan bagi membantu mempertingkatkan lagi hasil produk mereka yang sedia ada dan seterusnya dapat membantu meringankan, meningkatkan pendapatan mereka. YPDKT juga turut memanjangkan cadangan pelaksanaan Program PLP ini bagi tahun 2021, agar manfaat daripada program ini dapat diberikan kepada lebih ramai lagi OKU di negeri Johor yang tidak berpeluang bekerja tapi masih mampu untuk menjana pendapatan mereka dengan adanya kemahiran tertentu. Terima kasih.
Ya, Parit Raja, jemput soalan tambahan.
Soalan tambahan. Terima kasih YB EXCO dan tahniah di atas segala usaha dan inisiatif yang baik dari pihak YPKDT. Namun
saya ingin tahu, adakah terdapat penglibatan agensi lain yang menyediakan program untuk golongan OKU dan apakah program-program yang dilaksanakan untuk mereka yang turut terkesan dengan pandemik COVID-19 ini? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja selain dari YPKDT, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat juga turut membantu golongan OKU. Antara program yang dilaksanakan pertama, Bantuan Geran Pelancaran dengan kadar maksimum RM3,000.00 sekali gus, bantuan kepada OKU berkelayakan dan ingin memulakan perusahaan atau perniagaan mengikut syarat seperti berikut:
1. Warganegara dan bermastautin di Malaysia, kumpulan sasar JKM, tidak melebihi pendapatan garis kemiskinan, mana-mana kes yang berkeperluan layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
2. Bengkel Disability Equality Training dengan izin, JKM Johor telah melaksanakan bengkel ini kepada majikan, agensi kerajaan dan swasta dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman berkaitan ketidakupayaan dan halangan yang dihadapi oleh OKU terutamanya apabila bekerja dengan mereka. Bengkel ini adalah untuk memahami ketidakupayaan ke arah eksklusif.
3. Perkhidmatan Job Coach iaitu bagi membantu OKU mendapatkan pekerjaan dan pengekalan dalam pekerjaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan. Pada tahun 2020, Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Perkhidmatan Job Coach telah berjaya mendapatkan pekerjaan kepada 23 OKU.
4. Program Penubuhan Independent Living Centre dengan izin, ILC. Pewujudan ILC adalah untuk membantu OKU bagi supaya dapat berdikari dan mampu melaksanakan aktiviti kehidupan harian tanpa bantuan atau dengan bantuan yang minimum dengan menyediakan 4 perkhidmatan iaitu Program Latihan Berdikari, Pembantu Peribadi, Kaunseling Rakan Sebaya, Sokongan Informasi dan Advokasi.
Pada tahun 2020, negeri Johor telah menubuhkan sebuah ILC di bawah kelolaan Persatuan Down Syndrome Negeri Johor dengan peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM360,000.00 setahun.
Terima kasih.
Ya, Johor Jaya, jemput.
Terima kasih YB EXCO, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Speaker Tuan Speaker, soalan tambahan saya mempunyai satu dasar iaitu 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya iaitu OKU. Soalan tambahan saya, bagaimana pelaksanaan dasar tersebut di pihak kerajaan negeri Johor?
Jemput, YB EXCO.
Untuk makluman, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Untuk menjawab soalan itu, saya ingin maklumkan seperti mana yang telah saya katakan tadi, ialah kita berdasarkan kepada kekuatan ataupun peluang yang ada di OKU, sebab berpandukan kepada kategori-kategori sama ada seperti pembelajaran fizikal, mental, penglihatan, pendengaran dan juga pelbagai.
Jadi, kami, saya sentiasa melihat supaya apa yang dilancarkan ini akan mengikut kesesuaian yang ada pada kategori OKU tersebut. Jadi, saya mengharapkan supaya lebih ramai lagi, insya-Allah, pada tahun hadapan kita akan pergiatkan lagi perkhidmatan Job Coach ini supaya lebih ramai mereka-mereka ini akan mampu untuk bekerja. Terima kasih.
Ya, Buluh Kasap.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. saya cuma nak membangkitkan tentang rungutan daripada beberapa orang OKU yang sebelum ini menerima sumbangan atau peruntukan setiap bulanan. Tapi, sejak kebelakangan ini mereka sudah tidak menerima bantuan ini dan dengan alasan oleh pihak JKM ialah tidak, mereka ada perkembangan positif. Tetapi ialah bila kita OKU ni, apa perkembangan positifnya, contoh saya jumpa satu OKU yang kemalangan kakinya sudah tidak balanced, kurang 2 inci, mana ada perkembangan? Jadi, apakah sebenarnya syarat atau alasan tambahan JKM sehingga menolak permohonan mereka ini? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih YB. Untuk menjawab soalan itu, sebenarnya setiap tahun pihak OKU ataupun penerima-penerima bulanan daripada JKM harus memperbaharui, apa tu, memperbaharui setiap kali, setiap tahun kena memperbaharui permasalahan atau memperbaharui semula apa yang kita katakan untuk melihat, mengenal pasti sama ada mereka itu layak atau tidak. Kadang-kadang walaupun tadi Yang Berhormat kata, kaki dia cacat, kurang 2 inci dan sebagainya tetapi kita juga melihat kepada keperluan atau pendapatan isi keluarga tersebut. Jadi, saya juga mengharapkan supaya, insya-Allah pada tahun hadapan dalam pelaksanaan COMB, Cari Orang Memerlukan Bantuan, insya-Allah, kita akan lebih menepati segala kehendak-kehendak yang diperlukan oleh masyarakat di luar sana. Terima kasih.
Ok, soalan seterusnya Yang Berhormat Pasir Raja, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.
Sepanjang mengharungi cabaran COVID-19, apakah Jabatan Agama Islam ada membuat kajian semula untuk kelayakan untuk memohon Baitulmal?
Jemput, YB EXCO.
Bismillahirahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi taala wabaraktuh. Yang Berhormat Tuan Speaker dan Yang Berhormat Pasir Raja, Majlis Agama Islam Negeri Johor mempunyai garis panduan dalam menentukan kelayakan seseorang sama ada tergolong dalam fakir miskin atau tidak, yang dinamakan Garis Panduan Had Al Kifayah atau kadar kecukupan individu. Sepanjang tempoh berhadapan cabaran COVID-19 ini, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19 ini. Buat masa ini, tiada kajian semula bagi menentukan kelayakan permohonan bantuan, Majlis Agama Islam Negeri Johor kekal mengguna pakai garis panduan sedia ada iaitu Had Al Kifayah dalam menentukan kelayakan pemohon bantuan. Saya mengucapkan terima kasih atas cadangan ini dan insya-Allah, saya akan bawakan kepada Bahagian Baitulmal dan Jawatankuasa Kewangan dan Perkara Am Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menilai semula kadar-kadar, kaedah bantuan bagi yang memohon bantuan Baitulmal ini kerana sekarang ini kadar kemiskinan kita sudah pun berbeza Yang Berhormat Tuan Speaker, kalau dulu RM900.00 sekarang kadar kemiskinan bagi negeri Johor ialah RM2,005.00.
Insya-Allah, perkara ini saya akan bawa ke Bahagian Bantuan Baitulmal Negeri Johor. Terima kasih.
Ya, Pasir Raja.
Terima kasih YB EXCO atas jawapan. Apa yang saya ingin bangkitkan ialah persoalan saya, bagaimanakah pihak Jabatan Agama Islam untuk memastikan seseorang pemohon itu memang benar-benar layak dan siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan beliau ini layak kerana sekarang ini dalam musim COVID ni, terlalu ramai yang mengatakan mereka layak tetapi sebenarnya semua orang nak kan bantuan. Jadi, adakah pejabat Jabatan Agama Islam mengutarakan beberapa orang untuk mengenal pasti orang yang memohon itu layak ataupun tidak? Terima kasih.
Jemput, YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, pegawai yang sepatutnya menerima dan menguruskan bantuan di peringkat daerah ialah Pegawai Amil di peringkat daerah. Sekarang ini kita ada Pegawai-Pegawai Amil di peringkat daerah di semua daerah di negeri Johor. Apa pun untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan juga Ahli Dewan, pada masa COVID-19 ini, pihak Jabatan, Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19 ini.
Sebagai contoh, bilangan tunai sebanyak RM1,000.00 kepada individu yang disahkan positif COVID-19. Jumlah penerima sebanyak 200 orang dan jumlahnya adalah RM200,000.00. Bantuan tunai kepada 1,000 orang bantuan tunai sebanyak RM1,000.00 seorang kepada keluarga atau waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia. Jumlah setakat ini sebanyak 10 penerima, sebanyak RM10,000.00. Bantuan barang keperluan makanan asasi berjumlah RM100.00 untuk seisi rumah bagi keluarga yang hilang pendapatan harian atau tidak dibayar gaji jumlah penerima sebanyak 20,000 orang dan jumlah bayaran sebanyak RM2 juta. Bantuan tunai sebanyak RM100.00 seorang kepada penerima bantuan sara hidup dan bantuan perubatan serta mualaf Majlis Agama Islam Negeri Johor 25,000 penerima sejumlah RM2,500,000.00. Bantuan barang keperluan asas berjumlah RM100.00 untuk seisi rumah kepada seluruh masyarakat Orang Asli di seluruh negeri Johor sebanyak 4,280 penerima berjumlah RM428,000.00. Bantuan Ihsan Johor secara one-off sebanyak RM500.00 kepada peniaga-peniaga kecil asnaf di bawah penyeliaan Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah 200 penerima, sebanyak RM100,000.00. Bantuan barang keperluan asas untuk pelajar yang tinggal di asrama, di madrasah-madrasah yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM100.00, 300 penerima berjumlah RM30,000.00. Bantuan tunai sebanyak RM200.00 seorang kepada pelajar-pelajar negeri Johor yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir yang terlibat dengan PKP di luar negara, 780 penerima berjumlah RM157,000.00. Bantuan tunai sebanyak RM300.00 seorang kepada pelajar-pelajar negeri Johor yang sedang melanjutkan pelajaran di Jordan yang terlibat dengan PKP di luar negara, 70 penerima berjumlah RM21,000.00. Sumbangan kepada kegunaan aset perubatan dan bukan perubatan serta lain-lain keperluan menangani COVID-19 melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor di semua hospital yang terlibat sebanyak RM6,000.00. Hospital yang terlibat semuanya kita telah sumbangkan sebanyak RM600,000.00.
Banyak lagi Yang Berhormat?
Lagi dua sahaja. Bantuan keperluan asas berjumlah RM100.00 untuk seisi rumah kepada mereka yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh negeri Johor, 200 penerima, RM20,000.00.
Bantuan tunai sebanyak RM100.00 disalurkan kepada penerima bantuan sara hidup, bantuan perubatan berjumlah sebanyak 19,515 penerima, RM1,955,100.00.
Dan akhirnya Yang Berhormat Tuan Speaker, bantuan khas barang keperluan harian bukan makanan seperti lampin pakai buang, susu dan lain-lain kepada penduduk Kampung Parit Ibrahim Majid yang dikenakan Perintah PKPD, 822 penerima sejumlah RM35,000.00. Yang Berhormat bolehlah menyalurkan terus kepada saya jika ada perkara-perkara yang berkaitan permasalahan dari segi bantuan ini. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya Semerah jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat EXCO banyak insentif yang diberikan oleh pihak Baitulmal. Soalan saya ialah berapa masa yang diambil untuk setiap permohonan dan masa diambil untuk setiap permohonan yang telah diluluskan...
Yang Berhormat merujuk kepada soalan tu Yang Berhormat...
Ya soalan..
Ini tentang kajian ini sebenarnya.
Sepatutnya mengharungi cabaran, apakah Jabatan Agama Islam ada membuat kajian semula untuk kelayakan memohon. Betul, memang dia layak memohon tetapi bila dah mohon, kita nak tahu masa yang diambil, masa tu penting kalau banyak permohonan jadi kita nak tanya dekat sini, berapa masa diambil untuk meluluskan permohonan dan masa diambil untuk pembayaran selepas permohonan diluluskan? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Semerah. Seperti mana yang telah saya umumkan bahawa dengan cara dan kaedah baharu yang telah saya keluarkan arahan kepada semua pegawai-pegawai MAIJ daerah, tempoh permohonan jawapan kepada pemohon-pemohon yang disalurkan kepada MAIJ daerah hendaklah diberi jawapan dalam tempoh 14 hingga 21 hari Yang Berhormat Speaker. Terima kasih.
Soalan seterusnya, Yang Berhormat Kemelah jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 8.
Berapakah peratus litupan (coverage) capaian Internet ikut mukim di negeri Johor mengikut kategori wayar (wired) dan tanpa wayar (wireless) sehingga kini? Apakah usaha kerajaan negeri, dengan kerjasama kerajaan pusat untuk meluaskan litupan dan meningkat kelajuan capaian?
Jemput YB EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim, salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Media (SKMM) sentiasa memberi tumpuan
kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi dan usaha kerajaan tersebut.
Dan soalan ini ada dua Yang Berhormat Speaker. Yang pertama Ini dia tanya pasal berapakah peratus liputan (coverage) capaian Internet ikut mukim di negeri Johor mengikut kategori wayar dan tanpa wayar sehingga kini dan apakah usaha kerajaan negeri dalam kerjasama kerajaan pusat untuk meluaskan liputan dan meningkatkan gangguan capaian. Jadi yang kedua tu, Yang Berhormat Speaker, saya dah jawab dalam soalan tambahan yang lepas, saya jawab yang pertama dulu.
Berikut adalah merupakan peratus liputan, pertama saya jawab liputan 4G mudah alih dahulu. Maaf Yang Berhormat Speaker, saya memang tak dapat daripada data lengkap, data mengikut mukim yang diberikan adalah mengikut daerah. Mukim memang tak ada, kajian ikut mukim. Jadi ikut daerah, peratus keseluruhan negeri Johor, peratus average ya, negeri Johor adalah 98.28% dan mengikut daerah, Batu Pahat, 98.6%; Johor Bahru, 99.96%; Kluang, 96.68%; Kota Tinggi, 94.43%; Kulaijaya, 99.36%; Ledang, 97.69%; Mersing, 88.4%; Muar, 97.39%; Pontian, 97.49% dan Segamat, 96.24%. Dan bagi jalur lebar tetap pula dikira mulai kuantiti premis. Keseluruhan negeri Johor, premis yang tersedia ada, 616,038. Batu Pahat, 57,934; Johor Bahru, 360,592; Kluang, 38,568; Kota Tinggi, 26,311; Kulaijaya, 40,247; Ledang, 13,923; Mersing, 6,510; Muar, 32,761; Pontian, 18,769 dan akhir sekali Segamat, 20,423. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya Kemelah jemput soalan tambahan.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih kepada YB yang telah menjawab soalan. Walaupun saya rasa saya minta ialah peratusan sebabnya apabila menjawab bagi wired dia hanya menyebut household. Jadi, kita nak tahu berapa sasarannya dan berapa yang telah ada lah. Walau bagaimanapun, kalau kita lihat secara umumnya, memang luar bandar memang agak terkebelakang dan memang disadvantage ya, dengan izin. Saya ambil sebagai contoh, saya yang duduk di luar bandar jauh dari pekan, satu ketika saya terpaksa membayar RM137.00 untuk dua meg line. Itu yang mampu disediakan oleh TM. RM137.00 untuk dua megabit per second. Tahun 2019 kerajaan Pakatan telah menurunkan, menyemak semula kadar dua meg, jadi sekarang saya membayar RM73.00. Itu masih lagi pada tahap RM35.00 apa ni untuk satu meg ya, jauh beza dengan mereka yang berada di bandar yang boleh dapat RM80.00, RM90.00 untuk 20 meg atau 30 meg per line. Soalan saya ialah bila kita nak supaya orang luar bandar ni mendapat kelebihan kalau tidak pun dikurangkan kos tetapi menikmati kelajuan sebagaimana yang di bandar. Terima kasih.
Jemput Yang Berhormat.
Yang Berhormat Speaker. Dalam jawapan yang lepas, saya ada jawab dalam soalan-soalan tambahan. Jadi sebab itulah fasa yang berikutnya dalam, dulu dipanggil MSCP. MSCP pun fasa 1, semua tower-tower yang kita buat untuk coverage sebanyak 13 semua di kawasan luar bandar, 13. Dan untuk yang berikutnya pun, kita punya tower-tower coverage pun semua majoritinya di kawasan-kawasan luar bandar. Jadi, itulah inisiatif yang kerajaan buat dan semalam juga dalam ucapan, minggu lepas hari Khamis dalam ucapan penggulungan saya ada menyatakan secara detail tentang inisiatif kerajaan pusat untuk menaik taraf kawasan dan memberi fokus lebih kepada kawasan-kawasan luar bandar. Jadi, saya telah memberi secara detail pada masa tersebut dan naik taraf itu Yang Berhormat yang saya boleh nyatakan dan projek ini 2021, 2020 sehingga 2021, tahun depan akhir, insya-Allah. Dan saya dah cakap juga kepada Menteri untuk menangguhkan daripada 4G kepada, daripada 5G dia fokus kepada 4G dengan inisiatif untuk jalur lebar tetap ni menukarkan copper-copper kepada fiber optik. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya Kota Iskandar.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan juga YB EXCO yang memberikan jawapan. Coverage Internet, dengan izin, tidak boleh lari daripada projek MSCP yang kedua ataupun JENDELA. Dan, sebelum ini saya pernah bertanya dalam soalan tambahan tentang bagaimana kerajaan mengadakan penyelarasan kepada dua syarikat konsesi yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur komunikasi dalam negara kita dan dalam handsard oleh YB EXCO bahawa tiada bayaran dikenakan oleh dua konsesi tersebut. Saya minta supaya kenyataan ini merupakan kenyataan yang bertanggungjawab dan tidak sama sekali misleading dalam Dewan yang mulia ini. Kerana dalam jawapan lisan yang saya terima pagi ini pun, disebutkan di antara pakej yang saya cadangkan dulu, kerjasama dengan pihak TNB tidak dapat dilaksanakan khusus dalam menyediakan infrastruktur perkhidmatan 5G disebabkan bayaran yang dikenakan oleh pihak KUJ yang dinyatakan dalam jawapan bertulis.
Maka oleh itu, saya nak bertanya kembali, adakah Yang Berhormat EXCO masih kekal dengan menyatakan bahawa dalam Dewan yang mulia tidak ada bayaran yang dikenakan oleh dua konsesi yang saya sebut semalam, sebelum ini dalam soalan tambahan sebelum ini ataupun membetulkan kenyataan itu bahawa memang terdapat bayaran dikenakan oleh konsesi tersebut yang oleh itu, Pakatan Harapan dahulu kita menubuhkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Induk Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Johor dan juga Majlis Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor bagi berperanan pemudah cara dan juga menyelaras bayaran-bayaran yang dikenakan oleh kedua-dua konsesi tersebut.
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara ini sebenarnya bukan ada atau tak ada, belum ada kata putus lagi Yang Berhormat. Kita dalam proses negotiation dan kita faham sebenarnya kebetulan, komunikasi ini adalah bukannya keputusan penuh kepada kerajaan negeri sahaja, melibatkan kerajaan pusat. Dan cerita pasal TNB tersebut yang mempunyai, tersebut masih belum ada keputusan, bukan kita cakap ada atau tak ada, dalam proses negotiation, itu maksud saya Yang Berhormat. Keputusan belum ada lagi dan kita dalam fokus dalam masih lagi dalam proses perbincangan untuk menyelesaikan masalah KUJ dengan TNB. Dan pihak negeri, kita cuba membantu sedaya upaya Yang Berhormat. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, jawapan saya masih belum dijawab. Sebab dalam soalan sebelum ini, Yang Berhormat Speaker menyatakan bahawa semua bayaran adalah tertakluk kepada budi bicara persekutuan di bawah Malaysian Standard Accessing Pricing (MSAP). Persoalan dia, ada atau tidak bayaran dikenakan dari pihak kerajaan negeri oleh pihak konsesi yang tidak termaktub dan tidak termasuk di dalam MSAP.
Ya atau tidak Yang Berhormat?
Belum ada keputusan ya atau tidak, saya cakap belum keputusan. Kalau ada keputusan, kita akan cakap ya atau tidak Yang Berhormat.
Yang Berhormat Speaker, macam mana kata belum ada keputusan, konsesi ini telah berjalan bukan semalam. Konsesi ini telah jalan beberapa tahun dahulu. Sudah ada bayaran ke atau tidak dikenakan kepada pengamal telekomunikasi ataupun Telco dalam negeri Johor oleh dua konsesi tersebut yang mana
bayaran tersebut tidak termasuk sebahagian atau part and partial, dengan izin, daripada MSAP.
Ok Yang Berhormat, untuk itu saya akan dapatkan maklumat lebih lengkap dan saya akan menjawab secara bertulis Yang Berhormat. Terima kasih.
Pekan Nanas, soalan tambahan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, adakah penyediaan kelengkapan Unifi menjadi suatu syarat mandatori dalam proses memohon projek pembinaan harta tanah baharu dan berapakah masa minimum bagi pemilik harta tanah baharu untuk berjaya untuk membuat permohonan Unifi? Sekian terima kasih.
Jemput YB EXCO, jemput YB EXCO.
Saya tak faham soalan ini, ulang balik.
Adakah penyediaan kelengkapan Unifi akan menjadi suatu syarat yang mandatori, mesti dijalankan dalam apa-apa projek harta tanah baru dan adakah masa yang minimum ditetapkan oleh kerajaan supaya pemilik harta tanah baru ini dia boleh mendapat perkhidmatan Unifi bila mereka membuat permohonan?
Jemput.
Yang Berhormat terima kasih soalan, setakat ini belum ada keputusan dan ini di bawah PBT sebenarnya Yang Berhormat bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan kita belum ada keputusan, tak tahu PBT, EXCO kalau ada maklumat boleh bantu?
Bertulis sahaja, bertulis.
Sebab apa Yang Berhormat, sesuatu pembangunan dia melalui Kerajaan Tempatan permohonan untuk dapatkan Kebenaran Merancang. Jadi, saya menjaga, memang menjaga coverage ini tetapi tentang enforcement ini adalah di bawah Kerajaan Tempatan. Dan, sebab itu saya cakap maklumat ini saya kena rujuk dekat EXCO Kerajaan Tempatan. Terima kasih.
Ok, jika ada apa-apa maklumat itu boleh secara bertulis Yang Berhormat, ok. Soalan yang seterusnya, Yang Berhormat Tiram, jemput.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 9.
Jalan raya simpang ke Kota Tinggi ke Bukit Tiram di bawah jejantas terlalu teruk, banyak kali sudah dibawa ke perhatian. Keadaan ini akan membawa kemalangan.
Jemput YB EXCO.
Bismillahirahmanirahhim. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Tiram adalah berkaitan dengan ingin tahu bilakah JKR atau kerajaan negeri atau pihak agensi hendak memperbaiki simpang di Bukit Tiram yang teruk katanya.
Untuk makluman Tiram, JKR telah mengemukakan peruntukan untuk memohon, peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi membaiki persimpangan ini. Persimpangan ini adalah dalam jalan persekutuan, jadi kita mohon untuk dibaiki. Insya-Allah kalau di terima, awal tahun depan kita akan terus laksanakan tugas sebelum Tiram ataupun yang lain hendak mengemukakan soalan tambahan, saya rasa kalau soalan-soalan kecil macam ini, sorry bukan kecil penting macam ini tetapi soalan yang bukan berkaitan dasar, WhatsApp saya sahaja ataupun tulis surat insya-Allah saya akan terus hantar kepada JD. Kita ada 10 JD Yang Berhormat dan mereka sangat cekap, hari ini hantar, esok dia dah siasat dah. Maksudnya kalau hari ini hantar, dia dah ada dalam rekod mereka, makna rekod-rekod sebelum ini pun dah menunjukkan sekiranya YB boleh pergi sana dan ambil gambar berdiri di tepi masalah itu hantar kepada saya akan menjadi bukti yang kuat untuk JD ambil tindakan dan saya akan pastikan peruntukan dimohon akan dilaksanakan seberapa segera. Dan, kita tidak mahu masalah-masalah seperti jalan teruk ini akan menyebabkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Terima kasih Tuan Speaker.
Ya Tiram. Jemput soalan tambahan.
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan. Sebenarnya keadaan jalan ini bukan di apa yang saya maksudkan tadi sahaja. Saya sudah bawa perkara ini saya ingat ada lebih kurang dua ataupun tiga kali mengenai jalan ini, yang persimpangan ini. Tidak dibuat-buat juga sebab itu saya bawa ke hadapan di sini. Dan juga, lagi satu Yang Berhormat EXCO, saya hendak tahu sudah 2 setengah tahun dekat kawasan DUN Tiram, saya berpusing-pusing banyak tempat belum dibaiki, jalannya teruk bukan sebelum saya bukan semasa saya, sebelum saya pun sudah ada. Saya hendak tanya sahaja adakah jawatankuasa memantau? Sebab kadang-kadang ada orang aduan, kadang-kadang tak ada buat aduan tetapi masalahnya masih ada di sana. Ini puncanya berlaku kemalangan dan macam-macam. Saya hendak tanya, soalan saya ialah adakah jawatankuasa pemantauan selepas buat jalan, ataupun memeriksalah keadaan di sana? Terima kasih.
Jemput YB EXCO.
Soalan tambahan ini dia melebar ke isu lain. Tetapi, kalau berkaitan dengan simpang Tiram ini memang peruntukan akan telah diminta actually dan akan dilaksanakan. Dan, YB Tiram menyebut perkara ini telah dua kali ditimbulkan, sebab itu saya mohon kepada Tiram dan juga yang lain, sekiranya ada masalah seperti ini, terus dikemukakan kepada saya. Tidak perlu dibawa ke Dewan, sebab kalau dibawa ke Dewan ini terlalu banyak isu-isunya sehingga tak dapat di monitor. Jadi, saya harap selepas ini saya akan personally akan pergi ke simpang Tiram ini dan untuk memastikan tindakan akan diambil segera. Terima kasih.
Soalan yang seterusnya. Yang Berhormat Endau, jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 10.
Apakah status pembinaan terminal bas di pekan Endau memandangkan perhentian bas yang ada kini sangat daif dan tidak selamat?
Jemput YB EXCO.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih atas soalan daripada YB Endau. Mersing merupakan destinasi pelancongan utama negara pada masa akan datang dan dikenali sebagai hari ini kita dah mula kenal Pulau Rawa sebagai Maldives di Malaysia dan Mersing bakal menjadi Geopark
ketiga selepas Jerai dan Lembah Kinta. Sehubungan dengan itu, penyediaan awal dari segi infrastruktur, jalan, jeti malah mungkin lapang terbang perlu di buat daripada sekarang perancangannya.
Untuk menjawab persoalan ini, berdasarkan maklumat dari pihak Jabatan Kejuruteraan Majlis Daerah Mersing bahawa proses pelantikan perunding bagi pembinaan terminal bas di pekan Endau akan dilaksanakan oleh Majlis Daerah Mersing pada 20 Disember 2020. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Ya, Endau. Soalan tambahan? Ok. Seterusnya Yang Berhormat Yong Peng. Jemput.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan Yong Peng nombor 11.
Apabila hujan lebat kawasan-kawasan ladang kelapa sawit dan pertanian terutama sekitar Jalan Labis dan Jalan Paloh akan dinaiki air, apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah ini?
Jemput YB EXCO. 5 minit Yang Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pola perubahan iklim dan climate change yang berlaku di Malaysia pada waktu ini sedikit sebanyak turut menyumbang ketidakstabilan aktiviti pertanian termasuk di negeri Johor. Graviti taburan hujan yang tinggi dan berpanjangan mengakibatkan kawasan rendah kerap mengalami bencana banjir. Fenomena ini sememangnya memberi kesan kepada petani. Akibat kerosakan, kemusnahan tanaman yang sememangnya turut memberi kesan kepada pengeluaran dan pendapatan pertanian.
Pihak kerajaan khasnya JPS seboleh-boleh mungkin akan berusaha agar kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir berkurang dari masa ke semasa. Keadaan pelaksanaan adalah dengan melibatkan kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan sungai. Pembinaan sistem saliran dan juga melaksanakan projek-projek tebatan banjir. Namun, bagi kawasan ladang sawit dan pertanian yang mempunyai hak milik dan tuan tanah, mereka seharusnya melakukan sesuatu dan bertanggungjawab ke atas kawasan hak milik masing-masing. Kerajaan hanya boleh membantu bagi menyediakan saliran utama di kawasan berdekatan supaya pengaliran air berjalan lebih lancar, manakala dalam kawasan ladang atau kebun ianya perlu dilaksanakan oleh pemilik itu sendiri. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Ha, Yong Peng.
Terima kasih jawapan dari YB EXCO. Berkenaan sebab impak, impak kenaikan air di kawasan pertanian ini, petani-petani ada impak tentang pendapatan mereka. Adakah pihak kerajaan akan beri apa-apa ganti rugi untuk bencana ini? Sekian, terima kasih.
Jemput Yang Berhormat, 1 minit.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan telah memperuntukkan RM100,000.00 untuk program ini. Iaitu untuk bantuan bencana dan boleh dipohon tambahan sekiranya perlu berdasarkan justifikasi bencana. Kadar bantuan kepada pengusaha buah-buahan dan sayur-sayuran adalah minima RM500.00 dan maksima RM2,000.00 per hektar dalam had bantuan maksimum 2 hingga 4 hektar. Bantuan berupa bahan input pertanian akan di
berikan kepada pengusaha-pengusaha yang membuat permohonan sahaja berdasarkan penilaian kawasan yang telah dibuat pertanian daerah bersama-sama dokumen yang lengkap. Sekian, terima kasih.
Jam dah menunjukkan pukul 11.00. Saya tamatkan soalan setakat ini. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama.
Soalan-Soalan Bertulis.Questions
Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.
Saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 11.15 pagi. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada 11.30 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020.Bill
Bismilahirahmanirahhim. Assalamualaikum warahmatullah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 disambung sekarang.
Jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar. Jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam makmur Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, pertamanya patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim, sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Tuanku pada 22 November 2020 bersamaan 6 Rabiulakhir 1442H yang lalu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh secara positif perihal sektor pertanian dan pembangunan luar bandar dalam negeri Johor, dalam Dewan ini. Rata-rata dan majoritinya menyambut baik dan menerima realiti tentang peri pentingnya sektor pertanian dan industri makanan yang menjadi sektor paling stabil ketika negara menghadapi krisis ekonomi. Dan, sekali gus menjadikan ianya sebagai satu punca pendapatan baru kepada kerajaan di samping memastikan kestabilan pembekalan makanan kepada semua. Dan, berdasarkan kepada minat dan keterujaan yang ditunjukkan, menambah semangat dan iltizam saya dan kerajaan untuk memajukan sektor pertanian melalui portfolio ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam membicarakan soal pertanian saya ingin memaklumkan bahawa ianya terbahagi kepada dua iaitu tanaman komoditi dan tanaman pertanian agro makanan. Di negeri Johor, daripada 51.11% tanah pertanian yang sedia ada, 63.96% adalah diusahakan untuk tanaman komoditi. Manakala hanya 36.04% di usahakan dengan aktiviti tanaman agro makanan.
Pada masa yang sama juga saya ingin menekankan bahawa untuk menjayakan agenda sekuriti makanan yang mana menekankan tentang tahap kesediaan, kepenggunaan, kebolehcapaian dan kestabilan makan satu perkara yang kita tidak pernah dan tidak boleh lupakan adalah tentang untung nasib hero-hero yang tidak di dendang iaitu petani, penternak dan nelayan yang membekalkan makanan untuk kita sehari-hari. Ini bermakna kerajaan menekankan dan memberi tumpuan yang tidak kurang untuk memperkasa para petani, penternak dan nelayan agar taraf kehidupan mereka sentiasa meningkat daripada masa ke semasa. Ini juga bermakna kita memastikan para petani mendapat pendapatan yang menarik dan stabil dan sekali gus menjadikan profesion agro makanan yang menarik dan lebih seksi dengan izin, dari kaca mata masyarakat terutama orang muda. Komitmen dan iltizam oleh kerajaan seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini telah menyediakan peruntukan yang cukup besar dan tidak pernah disediakan sebelum ini oleh kerajaan pusat dan negeri. Iaitu RM27.65 juta untuk tahun 2021 untuk sektor pertanian, perikanan dan veterinar dan RM35 juta untuk tempoh 2 tahun iaitu 2021 dan 2022.
Ianya merangkumi pembangunan semua aktiviti dalam rantaian nilai sektor pertanian dan agro makanan negeri untuk dimanfaatkan kepada aktivis agro makanan sama ada kecil, sederhana mahupun besar. Saya bersetuju apa yang di utarakan oleh Yang Berhormat Sri Medan tentang persepsi orang muda yang berfikiran bahawa aktiviti pertanian yang menguntungkan hanya melibatkan aktiviti pertanian yang melibatkan komoditi sahaja. Kerana ianya lebih dilihat muda, kurang membebankan dan mendapat pendapatan yang stabil tetapi tidak selalu. Realitinya ini telah dilihat, kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan orang-orang ramai yang juga petani bahawa dengan keluasan yang sama aktiviti Taman Agro Makanan lebih memberi pulangan yang lumayan berbanding dengan perusahaan pertanian komersial.
Yang Berhormat Tuan Speaker, misi yang terbesar kepada kita adalah untuk menyediakan platform pasaran yang lebih luas agar petani-petani lebih berkeyakinan tentang pasaran hasil tanaman mereka. Perkara ini juga merupakan satu elemen penting dalam rantaian nilai sektor pertanian yang harus diperkasakan. Dalam hal ini kerajaan negeri akan terus menggembleng usaha-usaha agensi seperti FAMA dan organisasi seperti Pertubuhan Peladang Kawasan yang mempunyai 28 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di kawasan masing-masing sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian para petani. Kepentingan akan PPHP ini sentiasa ditekankan oleh kerajaan negeri dan atas sebab itu dengan komitmen awal ini kerajaan memperuntukkan RM500,000.00 untuk menaik taraf prasarana 2 PPHP yang dijanjikan oleh dengan PPHP Kluang dan Benut. Selain daripada itu kerajaan juga amat menggalakkan contract farming atau pertanian kontrak, yang mana model ini melibatkan pengusaha-pengusaha besar dan pengusaha-pengusaha kecil. Ini adalah untuk mempastikan para petani atau pengusaha dapat lebih menumpukan soal pengeluaran hasil daripada pencukai akibat memikirkan soal pasaran hasil pengeluaran mereka. Pada masa yang sama, ia akan memberi manfaat kepada pengusaha-pengusaha besar untuk mendapatkan bekalan yang lebih konsisten untuk memenuhi permintaan yang mereka ada.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu juga model ini juga akan mengurangkan masalah yang dialami pengusaha besar dalam soal memperluaskan kawasan tanaman mereka dan juga masalah kekurangan pekerja. Ini bermakna kolaborasi antara pengusaha kecil dan pengusaha besar yang lebih mengetuai permintaan dan pengedaran akan memberi persekitaran yang lebih sihat dalam sektor pertanian keseluruhan. Yang Berhormat Parit Yaani telah menyebut tentang soal kos operasi yang tinggi. Yang melibatkan kos input pertanian dan makanan ternakan. Kerajaan pada masa ini sememangnya amat menggalakkan penggunaan baja bukan kimia dalam aktiviti pertanian. Sementara unsur
mekanisasi dan mengurangkan kos operasi dan sekali gus mengurangkan beban kerja petani.
Selain daripada itu ianya juga akan meningkatkan bekalan terhadap permintaan hasil agro makanan tanpa bahan kimia di kalangan pengguna. Kerajaan tidak akan memaksa petani dan orang ramai untuk mengusahakan sesuatu yang memberi pulangan yang minimum namun, ianya bergantung kepada tujuan pengusahaan itu sama ada untuk sara diri, tambah pendapatan ataupun perniagaan komersial. Berkenaan dengan kemudahan infrastruktur agro makanan yang tidak mencukupi, tidak semua sektor dalam pertanian memerlukan bekalan air terawat ataupun elektrik. Berhubung dengan ketiadaan sinergi dan mekanisme pelaksanaan seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Parit Yaani, saya ingin menyatakan bahawa buat masa ini sinergi dan integrasi antara Jabatan di peringkat pusat dan negeri adalah dalam keadaan yang amat baik. Sebagai bukti, Jabatan ini di peringkat pusat dan negeri telah berjaya mengusahakan peruntukan yang besar untuk kemajuan sektor pertanian, dan agro makanan di negeri ini dan pada masa hadapan. Dan Jabatan ini, dan agensi di bawah sektor pertanian ini, juga terlibat dalam Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor. Ia ditambah dengan iltizam kerajaan negeri untuk memperkasa sektor agro makanan.
Yang Berhormat Tuan Speaker dalam konteks penyelidikan pula, MARDI negeri Johor bagi tahun 2020 telah memperuntukkan sebanyak RM2.24 juta bagi melaksanakan projek penyelidikan yang merangkumi penyelidikan pelbagai agro makanan seperti buah-buahan sebanyak RM730,000.00, sayur-sayuran RM20,000.00, tanaman industri RM50,000.00, ternakan RM1.2 juta dan pembangunan usahawan sebanyak RM50,000.00.
Sementara itu, Jabatan Perikanan pula telah memperuntukkan RM1.48 juta dari kerajaan pusat untuk kajian pembangunan induk dan baka melalui pembiakbakaan selektif dan penilaian di lapangan, pembangunan teknologi pembenihan spesies alternatif, penyelidikan teknologi ternakan, penyelidikan makanan ikan, penyelidikan kerang-kerangan, kajian sosial ekonomi green collar job sektor pertanian dan penilaian strategi blue economy dalam perikanan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian Negeri Johor, mempunyai 8 projek dengan keluasan 452.38 hektar dengan bilangan pengusaha seramai 77 orang. Dan sehingga kini dari siasatan yang dibuat, seramai 8 orang telah melanggar syarat. Iaitu 3 di TKPM Pagoh, 1 peserta di Institut Pertanian Ayer Hitam dan 4 orang peserta di TKPM Sedili. Untuk makluman juga, kesemua mereka telah menarik diri dan dikeluarkan daripada TKPM dan telah digantikan dengan peserta yang baru.
Yang Berhormat Tuan Speaker, manakala TKPM daripada Jabatan Veterinar pula, terdapat 36 TKPM dan padang ragut yang jumlah keluasan seluas 3,829.725 hektar yang melibatkan 186 orang peserta. Tempoh sewaan adalah 20 tahun setiap peserta dan perjanjian akan diperbaharui setiap 3 tahun mengikut pemantauan dan penilaian. Daripada 186 peserta ini, melalui pemantauan dan proses pemutihan terdapat 61 orang tidak aktif dan 8 orang membuat pelanggaran syarat seperti melakukan penanaman sawit dan sayur-sayuran. Penilaian terhadap pengoptimum sumber-sumber tanah pertanian sedia ada akan sentiasa dilakukan agar ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Yang Berhormat Parit Yaani juga menyentuh tentang isu nelayan yang mengambil kesempatan mengambil elaun untuk ke laut. Berkenaan isu ini, pihak Jabatan telah
mengenal pasti sebanyak 739 lesen sampan yang tidak aktif sepanjang 3 tahun. Berpandukan tatacara pengendalian piawai semua pemilik lesen akan diberi tunjuk sebab dan sekiranya tiada jawapan diterima dalam masa 14 hari daripada tarikh surat tunjuk sebab tersebut, maka pembatalan akan dibuat dan tindakan pemutihan lesen ini akan dilaksanakan berterusan oleh Jabatan Perikanan setiap tahun.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan tahniah di atas inisiatif Yang Berhormat Endau, yang mana melibatkan agensi-agensi sektor pertanian dalam pembangunan setempat. Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu menjayakan inisiatif projek ekonomi desa tersebut. Berhubung dengan isu yang membangkitkan mengenai kos bekalan elektrik kepada pengusaha agro makanan, dimaklumkan bahawa tarif ini telah pun ditetapkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad kerana faktor jenis penggunaan bangunan, seperti pusat pengumpulan hasil ladang, pam dan pam elektrik. Walau bagaimanapun, saya percaya tidak ada aktiviti pertanian yang menggunakan bekalan elektrik sepenuhnya. Berkenaan dengan pemberian insentif atau bantuan kewangan kepada nelayan di musim tengkujuh, kerajaan hanya menyediakan skim subsidi hasil, diesel dan petrol, insentif tangkapan ikan dan elaun sara hidup nelayan. Pada masa yang sama kerajaan juga menyediakan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, memang benar 58.8% tanaman nanas adalah di negeri Johor. Untuk makluman sidang Dewan Yang Berhormat, Yang Berhormat Mahkota, peruntukan RM19 juta yang diperuntukkan untuk negeri Johor sahaja, bukan untuk 1 Malaysia. Ini merangkumi aktiviti pengeluasan tanaman, segala bentuk bantuan, input dan juga pembangunan benih dalam negeri. Saya rasa kita harus bersyukur atas berita ini dan ianya sebenarnya adalah berita baik untuk pengusaha industri nanas di negeri Johor khususnya. Lembaga Perindustrian Nanas (LPNM) negeri Johor telah membelanjakan RM6.6 juta untuk program pengeluasan nanas di negeri ini pada tahun 2020. Manakala pencapaian keluasan sehingga kini adalah 1,022 hektar berbanding 800 hektar sebagai sasaran dengan tambahan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi daripada kerajaan pusat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berhubung dengan konsep mentor-mentee, sebagaimana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Mahkota, sukacita saya maklumkan bahawa LPNM telah pun memperkenalkan contract farming tanaman nanas iaitu Projek Kluster Nanas Lestari (PKNL) di Tanah Abang, Mersing melibatkan 300 ekar tanah milik SSI. Ianya melibatkan kerjasama Syarikat Kulim Pineapple Farm sebagai anchor company. Yang mana peserta-pesertanya pula terdiri daripada kalangan petani muda yang mengusahakan 5 ekar setiap peserta. Walaupun proses tuaian belum tamat, saya nak maklumkan, namun berdasarkan hasil tuaian semasa, peserta di jangka akan mampu membayar balik pinjaman mereka daripada Agro Bank sebanyak RM50,000.00 sekali gus atau secara pukal. Ini sekali gus memperlihatkan para peserta akan menikmati pendapatan lebih RM5,000.00 sebulan. Sudah pasti ianya adalah satu contoh yang baik bagi dikembangluaskan lagi di tempat-tempat lain berdasarkan kesediaan tanah dan kumpulan sasaran yang bersesuaian. Untuk itu juga, LPNM telah menjalinkan kerjasama dengan FELDA untuk mengusahakan tanah-tanah FELDA yang belum diusahakan. Dan untuk makluman, sebagai permulaan ianya akan dilaksanakan FELDA Redong dengan keluasan 20 ekar dan FELDA Lenga sebanyak 70 ekar. Dalam hal ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi LPNM negeri Johor iaitu Yang Berhormat daripada Bukit Kepong.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan Program Pembangunan Peneroka (PPP) di kawasan FELDA. Sebagaimana Yang Berhormat Mahkota maklum, peruntukan
RM1.0 bilion telah disediakan seperti mana yang telah diumumkan menerusi kertas putih FELDA. Program ini adalah untuk warga peneroka FELDA di seluruh negara, serta institusi seperti Koperasi FELDA untuk menjalankan aktiviti ekonomi pertanian dan ternakan. Ia akan mengurangkan kebergantungan kepada warga peneroka terhadap hasil pendapatan tanaman komoditi iaitu sawit atau getah dengan mempelbagaikan sumber pendapatan sampingan. Untuk tahun 2020, FELDA telah membelanjakan RM3,555,922.10 untuk pelaksanaan program ini. Ke hadapan, FELDA dijangka akan menerima geran daripada pihak kerajaan sebanyak RM250 juta bagi setiap tahun. Di negeri Johor terdapat bilangan peneroka sebanyak 27,642 orang peneroka. Maka anggaran nilai peruntukan yang boleh disalurkan FELDA adalah sebanyak RM110,568,000.00. Projek akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melibatkan 2 wilayah iaitu wilayah selatan, Johor Bahru dan wilayah Segamat. Tempoh pelaksanaan adalah 4 tahun dari tahun 2019 hingga 2022. Kaedah pelaksanaan PPP adalah seperti berikut iaitu Model A, projek plasma dan koperasi di bawah pengurusan Agro Bank dan program Model B, projek plasma dan projek koperasi di bawah kelolaan FELDA. Had kelulusan bagi permohonan projek adalah seperti berikut. Projek plasma, geran terus sebanyak RM2,000.00 seorang peneroka diberi dalam bentuk bekalan material dan perkhidmatan dan untuk projek koperasi geran terus berdasarkan setiap peneroka pada setiap perancangan dengan kiraan RM2,000.00 setiap peneroka. Model baru PPP dengan penglibatan Agro Bank sebagai agen pengurusan mensasarkan penglibatan sekurang-kurangnya 100 koperasi dan 500 orang peserta plasma bagi melaksanakan projek Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Peringkat awal projek ini akan dijalankan 3 aktiviti pertanian iaitu nanas, halia dan cili fertigasi di sektor pertanian dan akan dikembangkan lagi. Pihak Agro Bank akan menyediakan operator bagi setiap tanaman dan setiap peserta layak memilih sendiri operator yang mereka ingin kerjasama. Setiap peneroka mempunyai had kelayakan maksima sebanyak RM20,000.00.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dimaklumkan juga bahawa berhubung dengan penglibatan atau kartel-kartel yang memegang hampir keseluruhan aktiviti pertanian di seluruh Malaysia seperti yang didakwa Yang Berhormat Mahkota, sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan negeri Johor tidak pernah membiayai kartel-kartel yang dimaksudkan dan mengetepikan pengusaha-pengusaha kecil di sektor pertanian, khususnya penternakan. Malahan melalui rekod sebanyak 3,352 pengusaha industri daging dan tenusu lembu, kerbau dan kambing dalam negeri Johor yang diberi perhatian.
Yang Berhormat Tuan Speaker, penggalakan pengusahaan tanaman agro makanan bukan bermakna kerajaan menggalakkan pencerobohan tanah yang sedia ada. Petani atau pengusaha akan ditakrifkan sebagai penceroboh oleh kerajaan jika mereka mengusahakan tapak pertanian hak milik individu lain atau milik kerajaan tanpa kebenaran. Yang penting mereka mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak yang berkenaan atau empunya tanah. Justeru, dalam urusan memulakan pengusahaan atau pengembangan urusan tanaman ia boleh sahaja dibuat dengan menukar aktiviti tanaman di tanah-tanah komoditi yang dirasakan tidak dan kurang produktif.
Berhubung dengan pensijilan myGAP dan myOrganic sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jementah untuk makluman sidang Dewan, antara syarat untuk mendapatkan pensijilan tersebut adalah dengan mempunyai tanah yang sah hak miliknya atau sewaan atau pajakan yang masih sah tempoh sewaan dan pajakannya. Ini adalah penting untuk urusan pengesanan keluaran hasil para petani. Yang menjadikan hasil mereka menerima pengiktirafan dan ditambah nilai serta diiktiraf selamat. Sepanjang 2020, sebanyak 144 ladang telah diberikan pensijilan tersebut di seluruh negeri ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berhubung dengan bekalan air bersih di kawasan Kampung Minyak Beku, Batu Pahat, untuk makluman Ahli Dewan dan Yang Berhormat Senggarang, kawasan Kampung Petani dan sekitarnya adalah sebahagian Projek Bekalan Air Luar Bandar yang akan ditenderkan pada tahun 2021 oleh KPLB Negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan elaun Ketua Kampung sedia ada, elaun mereka sebenarnya dihentikan sehingga Julai 2020 berikutan penjenamaan semula MPKK kepada JPKK. Namun, untuk makluman Yang Berhormat Kempas, kerajaan negeri tidak pernah berniat dan menghentikan bayaran elaun kepada Ketua-ketua Kampung yang sedia ada. Kerajaan negeri masih meneruskan pembayaran elaun Ketua Kampung sehingga Disember 2020. Sementara itu KPLB melalui suratnya bertarikh 9 Oktober 2020 juga telah bersetuju untuk meneruskan elaun pembayaran Ketua Kampung sedia ada dari Ogos 2020 hingga Disember 2020. Untuk rekod, Ketua Kampung telah dibayar sehingga November sebanyak RM400.00 daripada kerajaan negeri dan bukan RM200.00 seperti yang didakwa dan juga ditambah sebanyak RM500.00 daripada KPLB.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan perlunya padanan bank makanan dengan data-data pengusaha tani dalam negeri Johor yang disarankan oleh Bukit Naning, Jabatan Pertanian sedar akan pentingnya pangkalan data. Dalam sektor pertanian bagi petani dan pengusaha. Melalui Agri-Geo Portal yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian yang mana datanya disalurkan oleh Agen Pengembang Tanaman (APT) di seluruh negeri. Pengusaha di bawah bimbingan jabatan didaftarkan bagi tujuan pemantauan prestasi projek pertanian seperti jenis tanaman, keluasan projek, kuantiti dan hasil dan nilai. Data petani dan pengusaha pertanian juga akan digunakan sebagai panduan bagi aktiviti-aktiviti pengembangan pertanian termasuk khidmat nasihat teknikal. Amalan pertanian baik melalui bimbingan ke arah pensijilan myGAP dan myOrganic serta penilaian terhadap mereka yang menerima bantuan kerajaan. Dengan itu, Jabatan dapat membantu petani meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian seterusnya dapat bersaing dalam pasaran yang lebih luas dan menguntungkan. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Naning juga, sebenarnya tempe juga adalah makanan sumber protein yang berasaskan daripada hasil agro makanan yang berpotensi besar untuk diusahakan secara komersial.
Berkenaan dengan permasalahan sumber air di kawasan Bukit Naning, untuk makluman buat masa ini projek BLB sedia ada sedang dilaksanakan di DUN Bukit Naning. Dan, insya-Allah akan memberi manfaat kepada 800 isi rumah dan dijangka siap pada tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, rata-rata Ahli Yang Berhormat menekankan soal pengagihan bantuan-bantuan dan insentif yang sedia ada disediakan kepada kumpulan sasaran. Sukacita dimaklumkan segala peruntukan yang diperuntukkan kerajaan adalah untuk semua aktiviti atau pemain sektor agro makanan merangkumi petani kecil, sederhana dan besar yang terlibat dalam seluruh aktiviti rantaian nilai sektor agro makanan dalam negeri ini. Maka, mereka semua adalah layak untuk memohon. Dan kelulusan adalah kepada mereka yang paling layak untuk menerima. Pihak kerajaan mengambil maklum tentang penekanan soal ketelusan serta keadilan agar seboleh-bolehnya pengusaha-pengusaha tulen yang memerlukan insentif dan bantuan diutamakan. Kerajaan juga mengambil kira ingatan daripada Yang Berhormat Mengkibol bahawa kerajaan tidak harus terus hanya memberikan pelbagai jenis bantuan tunai yang mungkin tidak dapat menjana pendapatan. Dan sudah pasti, ia akan menjadi panduan.
Sepertimana yang saya nyatakan dalam Dewan sebelum ini, untuk masa ke hadapan kerajaan akan menekankan soal Agenda Food Safety, dengan izin, ataupun keselamatan
makanan penggunaan industri IR 4.0 dengan izin, penggunaan mekanisasi dan automasi dan meningkatkan adaptasi dan penerima gunaan teknologi. Penekanan berkenaan kualiti benih, balance of trade atau keseimbangan dagangan dan matlamat pembangunan mampan dengan mengutamakan pertanian lestari dengan mengambil kira kesan dari kepada alam sekitarnya.
Berkenaan dengan projek pertanian moden yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Mengkibol, pusat pertanian moden ini telah dilancarkan pada tahun 2004. Membabitkan keluasan keseluruhan 3,655. 2 hektar yang dimiliki oleh Suruhanjaya Tanah Persekutuan dan di bawah pengawasan terus Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia. Ianya dibahagikan kepada komponen yang digunakan oleh Institut Veterinar Malaysia dan Pusat Ternakan Haiwan sebagai pusat latihan dan pengeluaran tenusu seluas 566 hektar. Pusat Pertanian Ayer Hitam 81.7 hektar, Pusat Pengumpulan FAMA 4.86 hektar, Pejabat Pentadbiran Pertanian Moden 5.286 hektar dan bakinya seluas 2,997.2 hektar dipajak kepada peserta untuk tempoh antara 10 hingga 30 tahun bagi mengusahakan pelbagai tanaman, ternakan, ikan hiasan dan agro pelancongan. Sukacita dimaklumkan walaupun ia berada dalam negeri Johor, namun segala pentadbiran, dan pemantauan serta perjalanannya adalah diuruskan oleh pihak kementerian.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berhubung dengan perkara yang dibawa oleh Yang Berhormat Machap, tentang pencemaran bau dan kacau ganggu lalat, ladang yang telah melakukan pencemaran tersebut telah diberikan notis penutupan ladang kerana beroperasi tanpa lesen yang sah. Berdasarkan pemantauan terkini daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada bulan November yang lalu, tiada sebarang aktiviti ternakan yang dijalankan di tapak tersebut dan berhubung dengan penggunaan baja tinja ayam di ladang kelapa sawit yang dilaporkan, ianya adalah di luar bidang kuasa Jabatan Veterinar. Walau bagaimanapun, pihak Jabatan sentiasa mengingatkan dan memberi amaran keras kepada pengusaha ladang unggas untuk merawat tinja dan tidak membekalkan tinja ayam yang tidak dirawat kepada mana-mana pihak di masa yang akan datang. Seterusnya, berdasarkan makluman dan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Kluang, sehingga kini tiada permohonan ladang unggas baru di kawasan Simpang Renggam.
Yang Berhormat Tuan Speaker, isu banjir adalah isu yang sering dibangkitkan oleh majoriti Ahli-Ahli Yang Berhormat. Berkenaan dengan masalah banjir di persisiran Sungai Batu Pahat yang dikenal pasti luas dan panjang dan memerlukan kerja penggalian dan naik taraf yang melibatkan peruntukan yang besar, maka pihak Jabatan mencadangkan agar pengorekan dan penaiktarafan Sungai Batu Pahat dipohon daripada kerajaan pusat. Merujuk kepada 3 hot spot banjir kilat yang sering berlaku di kawasan DUN Skudai, seperti mana di Kampung Laut, kawasan Jalan Makmur 19 hingga 24, dan Taman Damai Jaya, ianya adalah kawasan rendah yang mudah mengalami banjir. Kawasan Taman Damai Jaya adalah asalnya kawasan lembangan banjir yang mudah mengalami banjir. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Jabatan telah mengenal pasti antara langkah-langkah yang boleh dijalankan adalah dengan pembinaan benteng sungai dan pemasangan pam untuk mengepam air daripada kawasan banjir yang mana kira-kiranya memerlukan peruntukan yang besar kerana melibatkan kos pembinaan dan kos operasi apabila ianya siap. Dalam pada itu, di tempat di mana rizab sungai tidak mencukupi, proses pengambilan tanah perlu dilaksanakan.
Mengenai Kampung Poh Chee Ling pula kawasan ini didapati seolah-olah satu lot besar yang tidak mempunyai sistem saliran yang sempurna. Walaupun pihak PBT telah membina longkang-longkang tepi jalan dan JPS telah menyambung longkang tersebut hingga ke
Sungai Skudai, ia masih belum dapat mengatasi masalah banjir kerana tiada saliran sempurna di kawasan kampung. Walaupun kedua-dua agensi tersebut telah menjalankan penyelenggaraan di jajaran sungai yang telah dibina, longkang yang dibina, agensi juga berpendapat bahawa kolam, perangkap kelodak yang disyaratkan dibina dalam kawasan kem dapat dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Semerah yang mengetengahkan perkara projek Johor Barat yang mana projek tersebut telah membangunkan sektor pertanian di kawasan barat negeri Johor Darul Ta’zim ini. namun, peruntukan RM40 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk menyelenggara saliran pertanian yang panjangnya yang hampir 5,900 kilometer sudah pasti tidak mampu untuk menyelenggara kawasan Johor Barat yang mempunyai 4,900 kilometer. Kerana peruntukan tersebut akan bukan sahaja diguna untuk penyelenggaraan parit semata-mata tetapi juga meliputi penyelenggaraan lain termasuk penyelenggaraan parit bukan saliran pertanian, termasuk kerja-kerja pembuangan sampah di dalam sungai, membaiki benteng pantai yang pecah dan longkang utama. Sukacita, dimaklumkan bahawa perkara ini juga telah dimaklumkan kepada kementerian berkenaan di kerajaan pusat untuk dipertimbangkan.
Mengenai status bangunan FAMA di Parit Sidek, Jalan Muar – Batu Pahat. Untuk makluman Yang Berhormat Semerah, kompleks ini sebenarnya dibina pada tahun 2007 di atas tanah seluar 2 ekar dan digunakan pada tahun 2009 bermatlamatkan untuk mewujudkan sebagai pusat pengumpulan ladang dan pemasaran tebu untuk pasaran setempat dan eksport ke Singapura. Pengoperasian kompleks ini telah disewakan kepada Syarikat Pure King, sebuah syarikat yang berpengalaman dan mempunyai pasaran yang luas pada tahun 2019. Namun ia hanya bertahan sehingga 2014 kerana syarikat berkenaan berpindah ke premisnya sendiri. Kompleks tersebut telah ditinggalkan kosong sehinggalah sekarang ini disebabkan berlaku pemendapan tanah di sektor sub stesen TNB dan bahagian apron bangunan selain kes vandalisme dan kecurian yang berlaku. FAMA akan membaik pulih kerosakan sedia ada bermula awal 2021 dan apabila siap FAMA akan menawarkan sewaan kepada usahawan industri asas tani yang berkemajuan maju. Proses temu duga usahawan akan dijalankan dalam tahun yang sama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan masalah banjir yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Bentayan, pihak JPS Johor telah memohon peruntukan supaya 1 pelan induk saliran PISMA bagi bandar Maharani, Muar. Pelan induk ini boleh mencadangkan sistem yang sesuai di kawasan tersebut. Di harap permohonan ini mendapat berita baik daripada kerajaan persekutuan. Manakala berkenaan cadangan menyelenggara 2 kali setahun yang dicadangkan Yang Berhormat Bentayan adalah mungkin di luar kemampuan peruntukan Jabatan kerana ia melibatkan 1,300 kilometer saliran di daerah Muar sahaja, namun penyelenggaraan tambahan akan dibuat mengikut keperluan dan keutamaan daripada masa ke semasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tanjung Surat, yang berhasrat untuk menaikkan taraf prasarana pelancongan di pantai Batu Layar. Pihak KEJORA mengambil maklum perkara ini dan kekangan besar yang dihadapi adalah kebanyakan kawasan pantai Batu Layar adalah merupakan tanah milik persendirian.
Berkenaan dengan kemajuan Program Evolusi Hijau sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tangkak pula, yang diwujudkan oleh kerajaan yang lalu, kerajaan masa ini sebahagian besarnya meneruskan hasrat program tersebut. Namun, kerajaan masa kini
telah menambah nilai program dan menggariskan hala tuju yang selari dengan kerajaan pusat dan pada masa yang sama mengambil kira potensi dan hasrat kerajaan negeri dalam sektor agro makanan masa kini yang lebih komprehensif.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan masalah nelayan yang tidak berlesen di Kampung Perigi Acheh yang dibawa oleh Yang Berhormat Tiram, Jabatan Perikanan sedang melakukan proses pemutihan lesen sampan sedia ada. Setelah selesai proses pemutihan, maka permohonan lesen baharu akan dipertimbangkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, manakala berkenaan dengan isu video yang tular berkenaan masalah pemasaran nanas di Ayer Baloi, Pontian di awal musim COVID-19 yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang. Video tersebut telah dimuat naik oleh bukan pekebun nanas tersebut. Namun, isu pemasaran tersebut telah diselesaikan oleh LPNM, FAMA dengan LPP serta-merta.
Saya ingin maklumkan bahawa, ini adalah satu contoh klasik bahawa perlunya hubungan baik dan jalinan hubungan pekebun dengan agensi-agensi yang lain. Di peringkat daerah dan negeri supaya masalah-masalah seperti tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan cepat. Alhamdulillah, pekebun terbabit telah memohon maaf kepada agensi atas ketularan video tersebut. Dan, mereka mengucapkan terima kasih atas bantuan pasaran yang telah disediakan.
Manakala berkenaan dengan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) sebagaimana yang telah dibangkitkan juga, saya ingin memaklumkan bahawa telah wujud 28 PPHP oleh pertubuhan peladang kawasan termasuk di daerah Segamat dan daerah Kota Tinggi. Sehingga 2020, saya nak maklumkan urus niaga di PPHP yang sedia ada adalah berjumlah RM8.8 juta dengan kapasiti 1,246 metrik tan hasil pertanian. Pada masa yang sama, kini terdapat dua buah ladang peladang yang beroperasi dalam skala yang besar iaitu Pasar Peladang Skudai milik PPK Johor Bahru Timur yang melibatkan 65 orang pengusaha peladang dan Pasar Peladang Pontian milik PPK Pontian Selatan yang melibatkan 25 orang usahawan peladang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Serom berkenaan potensi perusahaan industri perikanan laut dalam. Jabatan Perikanan Malaysia memang mengalu-alukan semua pihak untuk menerokai perikanan laut dalam terutama di zon C2 dan C3.
Pengusaha-pengusaha yang berminat dan mempunyai modal pemula yang kukuh bolehlah mengemukakan kertas kerja kepada jabatan. Pihak kerajaan persekutuan telah memperuntukkan peruntukan sebayak RM150 juta untuk Program Pemodenan Vessel Dan Mekanisasi Tangkapan bagi tahun 2021. Berkenaan dengan penemuan spesies tiram baharu, oyster dengan izin, di sekitar Tanjung Agas dan Sungai Muar serta muara Sungai Kesang dari jenis tiram putih yang telah diberi nama saintifiknya sebagai Crassostrea Saidi. Pejabat Perikanan Negeri Johor sedar akan potensi ternakan tiram di negeri Johor, terutamanya di daerah Muar. Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini pengeluaran tiram di Muar adalah tiram dari alam semula jadi atau pun liar. Jabatan Perikanan Negeri Johor mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk mengusahakan ternakan tiram ini.
Berhubung dengan isu keasidan tanah di kawasan sawah di dalam DUN Serom, sukacita dimaklumkan bahawa pihak Bahagian Biosekuriti Tanaman, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menjalankan percubaan rawatan bendang dengan menggunakan rawatan humic acid
di Sawah Kampung Telok Rimba sejak 2 musim yang lalu. Untuk musim yang pertama, ianya bermula bulan Julai yang lepas dan kini telah memasuki musim kedua yang bermula pada pertengahan November yang lepas. Dan ini adalah satu percubaan bahan bukan kimia dalam usaha untuk memperbaiki keasidan tanah dan penambahbaikan pengurusan sawah yang menjurus kepada hasil yang lebih tinggi di seluruh negeri Johor. Ini juga adalah usaha untuk memperkasa sawah-sawah di luar kawasan jelapang dalam negeri Johor yang menjadi salah satu komitmen negeri Johor kepada pesawah-pesawah dalam negeri Johor.
Tentang banjir yang berlaku di Tanjung Agas, Parit Bunga, Kesang, Tanjung Gading Barat yang saya jangka dimaksudkan adalah berlaku pada Jun 2020. Untuk makluman Yang Berhormat Serom dan Ahli Dewan sekalian, pelantikan kontraktor bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sg. Kesang telah ditamatkan. Selepas ditamatkan, beberapa prosedur tertentu untuk melantik kontraktor baharu perlu dipatuhi. Untuk itu, pintasan yang melalui Lebuh Raya AMJ terlewat daripada masa yang sepatutnya. Beberapa tindakan tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya sengaja diabaikan. Tender projek akan dijalankan pada akhir Januari 2021 dan pada Julai 2021 projek dijangka dapat bermula di laluan AMJ tersebut. Penyelenggaraan Parit Keliling juga telah siap dilaksanakan pada November 2020. Isu yang dibangkitkan Yang Berhormat adalah berkaitan dengan banjir pada Jun 2020. Pada masa tersebut, sememangnya kerja tidak dilaksanakan kerana jabatan kerajaan beroperasi pada pertengahan bulan Mei 2020. Selepas jabatan kerajaan boleh menjalankan urusan, proses pelantikan kontraktor telah dibuat dan kerja mula berjalan pada awal Julai 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya bersimpati terhadap penduduk Kampung Pasir dan sekitarnya sepertimana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Perling. Kemasukan air ke kawasan Kampung Pasir dan sekitarnya pada 22 November 2020 adalah kerana pengikat ataupun dengan izin hinges pintu kawalan yang berada di situ telah patah disebabkan oleh tekanan dari air pasang. Pembaikan telah disiapkan pada hari yang sama dan setelah air pasang kembali rendah. Kini, pintu kawalan tersebut telah beroperasi dengan baik.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada masa sama, operasi pam terpaksa dihentikan beberapa kali kerana pump impeller dengan izin tersangkut dengan sampah-sampah yang banyak. Sampah yang dibuang oleh penduduk di kawasan tersebut begitu banyak sehingga mengganggu operasi pam. Pihak JPS terpaksa melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pembuangan sampah-sampah di kawasan pam tersebut. Pada masa sama, pihak JPS juga terpaksa mengganti pam sedia ada dengan pam yang lain kerana masalah impeller tersebut. Mudah-mudahan kejadian tersebut menjadi iktibar kepada penduduk setempat untuk sama-sama menjaga kebersihan sungai agar masalah tersebut tidak berulang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan perkara yang telah dicadangkan, pemberian insentif hasil yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Bukit Batu, saya ingin memaklumkan bahawa insentif tersebut memang telah diberikan kepada pesawah-pesawah di seluruh negara. Selain daripada insentif input, sejumlah RM2,400.00 oleh Lembaga Pertubuhan Peladang untuk setiap hektar. Pesawah juga disediakan insentif output ataupun hasil sebanyak RM390.00 satu tan metrik hasil padi yang mereka usahakan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagaimana yang ditekankan oleh Yang Berhormat Kukup dan Sedili, saya bersetuju dan menyokong penuh saranan untuk memperkasa program agro tourism sepertimana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat. Kita harapkan kejayaan projek-projek ini, yang mana banyak bergantung kepada pengusaha-pengusaha yang boleh menjadikan perusahaan mereka sebagai tarikan. Kerajaan negeri
sentiasa mengalu-alukan pelabur-pelabur luar yang datang dengan dana dan kepakaran untuk melabur di bidang agro makanan negeri Johor dengan teknologi IOT dan IR 4.0 dan terutamanya mereka yang telah mengenal pasti tanah-tanah dan tapak untuk dijalankan pengusahaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri yang telah menunjukkan minat dan keterujaan mereka ke atas agenda Johor Tani dan agenda Sekuriti Makanan Negeri Johor Darul Ta’zim. Rata-rata saya berpendapat bahawa majoritinya adalah menyokong inisiatif ini, terima kasih banyak-banyak. Dan, saya mengambil positif teguran-teguran sinis yang dibuat dan ia menguatkan lagi iltizam kerajaan untuk menjadikan Agenda Sekuriti Makanan Negeri Johor menjadi realiti. Bukan sahaja menambahkan pendapatan pengusaha tani, malahan juga menjadi sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita berkata bahawa, bukan setakat survival industri ini, tetapi juga sebagai satu lonjakan dalam sektor industri agro makanan. Saya mengambil maklum tentang keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat tentang perkara-perkara berikut iaitu, tentang ketelusan urusan bantuan, tentang keadilan kepada yang layak, tentang usaha mengurangkan birokrasi, makluman dan sebaran yang meluas, tentang meningkatkan keberkesanan kakitangan, tentang integrasi dan kerjasama baik antara agensi, tentang meningkatkan hubungan antara kerajaan dan pemain-pemain industri, tentang pengoptimuman penggunaan tanah yang terbiar dan tentang pengusahaan pelbagai bantuan bukan sahaja bentuk geran tetapi juga geran padanan dan pelbagai pinjaman untuk para pemain sektor agro makanan di negeri Johor. Sasaran di peringkat kerajaan yang hakiki adalah pewujudan Agriculture Export Centre dengan kerjasama kerajaan persekutuan, pihak swasta dan pihak pelabur strategi dalam negeri ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam masa yang sama pembangunan luar bandar tetap diutamakan, terutama dalam konteks pembangunan sosioekonomi masyarakat desa. Perkembangan sektor pertanian dan penekanan kerajaan terhadap sektor tersebut diharap dapat dimanfaatkan oleh penduduk desa yang sebahagian besarnya adalah para petani. Saya bersama agensi-agensi luar bandar yang ada dalam negeri ini akan terus berusaha untuk memfokuskan strategi-strategi bagi pembangunan luar bandar, bukan hanya daripada aspek fizikal sahaja, malahan merangkumi soal sosioekonomi, pembangunan modal insan dan lain-lainnya. Kepada kami, kita membangunkan potensi, kita memperkemaskan prasarana. Saya mohon maaf jika tidak dapat memenuhi kepuasan semua pihak. Saya mohon maaf jika ada yang tidak tersentuh. Saya memohon maaf di atas segala-galanya. Yang baik daripada Allah SWT, yang buruk adalah kerana kejahilan saya. Saya mohon maaf. Saya menyokong usul ini. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar. Seterusnya, saya jemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertamanya, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, kepada Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga dan sahabat Baginda, para tabi’e dan tabi’in, ulama dan semua umat manusia. Semoga memperoleh keberkatan ihsan Allah SWT pada hari pengadilan kelak.
Alhamdulillah, selepas beberapa hari kita bersidang, insya-Allah hari ini adalah merupakan hari terakhir kita bersidang pada sesi kali yang ke-14 ini. Dalam tempoh tersebut, pelbagai perkara telah dibangkitkan dan dibahaskan, sama ada oleh Wakil Rakyat daripada kerajaan Perikatan Nasional mahupun pihak pembangkang Pakatan Harapan. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan, saranan dan cadangan untuk bersama-sama memajukan negeri Johor yang kita cintai ini.
Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, kesemua isu yang dibangkitkan dalam Dewan yang mulia ini akan diberi perhatian dan diambil tindakan sebaik mungkin oleh kerajaan negeri Johor. Memang menjadi visi dan misi serta agenda kerajaan negeri Johor bahawa kepentingan rakyat menjadi keutamaan. Agenda pembangunan rakyat sentiasa diutamakan dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan jadual yang telah ditetapkan, kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat datang ke Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor. Pada hemat saya ia bukanlah sekadar rutin biasa untuk memenuhi kalendar tahunan. Ia ada satu amanah besar yang diletakkan oleh rakyat di bahu kita semua. Justeru, menjadi suatu kewajipan dan tanggung jawab yang perlu kita laksanakan atas nama demokrasi. Dalam konteks ini, terdapat 3 perkara yang sering kita raikan dan bahaskan dalam Dewan yang mulia ini, iaitu amalan Sistem Demokrasi, Sistem Raja Berperlembagaan dan Agenda Pembangunan Ekonomi. Tanpa amalan Sistem Demokrasi dan Sistem Raja Berperlembagaan, kita tidak boleh bersidang dengan tertib dan konstruktif. Apatah lagi untuk berbahas mengenai hal ehwal ekonomi yang merupakan agenda utama rakyat yang paling mustahak untuk dituntaskan.
Sebagai penggubal undang-undang di Dewan Undangan Negeri, kita semua perlu mendalami dan menghayati perlembagaan negeri yang dinamakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 14 April 1895. Di sinilah sistem pemerintahan beraja menjadi tunggak utama dalam Kesultanan Johor Moden. Di samping itu, menerusi sistem demokrasi, Perikatan Nasional telah mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Johor mulai bulan Mac 2020. Ini bermakna hampir setahun kita mentadbir, sedikit sebanyak kita telah menghayati kefahaman mengenai pembentukan sebuah kerajaan dan sistem demokrasi yang diamalkan di samping mengukuhkan iltizam mengekalkan kedaulatan Sistem Raja Berperlembagaan di Johor.
Dalam pada itu, saya ingin menarik perhatian sidang Dewan tentang keunikan dan keistimewaan politik Johor. Buat pertama kali dalam sejarah, negeri Johor mempunyai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang berlainan parti dan ideologi politik. Mereka bukan anggota parti yang memerintah, namun begitu atas tag line “Muafakat Itu Berkat”, kita dapat menyaksikan sistem demokrasi berjalan dengan licin dan lancar. Natijahnya, kemuafakatan politik bangsa Johor kelihatan lebih matang dan terbuka. Dalam beberapa hari Persidangan Dewan Negeri berlangsung, saya amat berterima kasih atas pandangan dan teguran yang diberikan. Ini adalah ruang demokrasi yang sebenar. Kita berbahas dengan setulusnya, dengan mengemukakan sebaik-baik idea dan sematang-matang pemikiran. Pada hemat saya, pihak pembangkang ada pelengkap dan berperanan sebagai check and balance kepada kewujudan sebuah kerajaan. Dengan izin Yang Berhormat Tuan Speaker, we are here to uplift our democracy, achieving better democracy is a never ending task. Atas pemikiran inilah kita mahu memberi keabsahan kepada barisan pembangkang dengan menaikkan peruntukan sebanyak RM150,000.00. Kenaikan ini adalah bertujuan untuk menjayakan pengurusan dan program kebajikan tanpa sebarang
halangan di kawasan yang diwakili oleh pihak pembangkang. Kerajaan negeri menyedari bahawa isu yang berkaitan dengan COVID-19 semakin serius di negeri Johor. Sehubungan dengan itu, peruntukan tambahan sebanyak RM50,000.00 diberikan secara one-off kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor. (Dewan bertepuk). Dalam konteks ini, tiada sesiapa pun layak untuk mengiktiraf diri mereka sebagai hero atau pahlawan dalam memperkasakan sistem demokrasi. Saya berpendapat bahawa sesiapa pun yang menjadi kerajaan adalah menjadi tugas hakiki mereka untuk memperkuatkan demokrasi dan always stand guided by its’ idea, dengan izin.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti di peringkat nasional, negeri Johor mengamalkan sistem ekonomi pasaran bebas. Justeru, Johor berpandangan sebarang campur tangan ke dalam pasaran jika ianya tidak perlu dan tidak munasabah, tidak harus dilakukan secara melulu. Johor, juga harus akur apa sahaja implikasi, free an open economy, Johor harus terima dan hadapi seadanya dan sebaiknya.
Dalam konteks kebajikan rakyat, Johor harus mengimbangi antara 2 aspek penting, kewujudan sumber dan ke mana sumber-sumber yang ada harus dibelanjakan. Membelanjakan sumber dan memberikannya kepada golongan sasar yang paling memerlukan, merupakan satu cabaran kepada kita. Ini kerana jumlah golongan sasar dan jenis bantuan mahu pun sokongan yang diperlukan juga turut berubah dan berbeza-beza. Secara jujurnya, semua pihak terkesan akibat penularan wabak COVID-19 ini. Ia bukan sahaja melibatkan golongan B40 dan M40. Namun apakah bantuan, dasar dan polisi kita akan terus menyokong golongan-golongan ini? Tanpa data dan tanpa kefahaman yang jelas mengenai kemiskinan, kita akan membuat keputusan yang salah. Dalam keadaan yang amat mencabar sekarang, we cannot afford to let that happen. Kerajaan negeri juga menginsafi tentang peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat. Hal ini disebabkan penutupan pelbagai sektor ekonomi akibat penularan COVID-19, tambahan pula penutupan sempadan meningkatkan jumlah pengangguran. Justeru, kerajaan negeri menggerakkan pusat-pusat latihan untuk memperbanyakkan program latihan dan latihan semula dalam kalangan generasi muda. Menyedari hakikat ini, usaha luar daripada kebiasaan harus menjadi amalan kita. Kefahaman mengenai ekonomi tidak harus lagi sama seperti sebelum wabak COVID-19 melanda. Kita tidak boleh melihat ekonomi, dasar-dasar mengenai pelaburan dan lain-lain sebagai business as usual. The economy is a routine exercise, Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan izin, the economy under it’s current context is no longer fixed and certain. Sebagai contoh, kita perlu menganalisis kewujudan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), yang baharu sahaja dimeterai. Kita juga perlu memantau kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang masih lagi belum reda. Meskipun Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Presiden Joe Biden sudah dipilih. Kedua-dua episod ini membuatkan ekonomi kita semakin dinamik dan mencabar.
Namun begitu, kita jangan cepat berputus asa. Allah SWT bagi anugerah minda untuk kita terus berfikir, peluang masih ada asalkan setiap dasar ekonomi kita sentiasa berfokus. Oleh itu selepas saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor, saya telah memperkenalkan 7 Ikhtiar Makmur Johor sebagai exit plan daripada belenggu COVID-19. Setakat ini Agenda Jaminan Bekalan Makanan Johor, Agenda Johor Digital dan Penubuhan Johor Economic Tourism and Culture Office di Singapura merupakan 3 ikhtiar yang sedang diberikan fokus sebagai pencetus ekonomi baru pasca COVID-19. Selain daripada itu, kerajaan negeri Johor juga berusaha untuk menjayakan gagasan pemikiran ekonomi, Ibrahim Johor Economic Counsel. Pelan segi tiga pertumbuhan Singapura – Johor – Kepulauan Riau, (SIJOKEPRI), Pelan Jajaran Ekonomi Baru, dan Pelan Pembangunan
Mampan Johor 2030. Kesemua 7 ikhtiar ini, adalah merupakan hasil usaha dan perancangan strategik kerajaan negeri bagi merancakkan dan memulihkan ekonomi Johor. Jelasnya ianya merupakan satu gagasan ketrangkuman pelan keluar, atau exit plan untuk negeri dan bangsa Johor. Saya pernah katakan sebelum ini kita harus berfokus kerana sumber terhad, konteks ekonomi tidak menentu dan rakyat pula amat berharap kepada kita sekarang. Ketiga-tiga pencetus ekonomi di atas akan dipacu oleh Private Public Partnership. Penglibatan sektor swasta amatlah diperlukan bagi memacu keberhasilan ketiga-tiga pencetus tersebut. Dalam pada itu, kerajaan negeri akan bertindak sebagai pemudah cara dan pembimbing agar segala yang bakal dilakukan itu akan membuahkan kebaikan kepada rakyat dan menyumbang kepada hasil kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Serom juga telah mencadangkan bagi mewartakan kawasan atau zon rancangan industri perikanan laut dalam, sepertimana yang disebut oleh Pengerusi Pertanian Asas Tani. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, ikhtiar ini termasuk dalam agenda penubuhan segi tiga pertumbuhan Johor – Singapura – Kepulauan Riau (SIJOKEPRI). SIJOKEPRI merupakan kawasan pembangunan wilayah yang amat strategik bagi tujuan penjanaan ekonomi serantau, dengan mengoptimumkan kedudukan strategik aliran pelaburan asing, hubungan logistik, sumber semula jadi dan tenaga kerja serta ketersediaan dalam bidang teknologi iaitu kemahiran dan pengetahuan. Oleh yang demikian, cadangan Yang Berhormat Serom bagi kawasan pewartaan atau zon rancangan industri perikanan laut dalam akan diteliti oleh kerajaan negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Perikatan Nasional sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka. Perikatan Nasional sentiasa terbuka dan amat mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak termasuk daripada pimpinan Pakatan Harapan. Kita menganggap pemimpin Pakatan Harapan bukan orang asing dalam kerajaan negeri Johor. Para pemimpin Pakatan Harapan adalah rakan strategik dalam memaju dan memakmurkan negeri Johor. Sebagai rakan strategik, kita amat menghargai pandangan walaupun mungkin wujud perbezaan dari segi pemikiran dan ideologi. Namun dalam hati nurani kita, kita mahu destinasi akhir kita adalah sama iaitu membawa Johor Darul Ta’zim, negeri yang kita cintai ini lebih membangun demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya. Johor Darul Ta’zim ini adalah milik kita. Milik kita semua bangsa Johor. Jadi, marilah sama-sama kita jaga dan majukan Johor Darul Ta’zim. Inilah maruah kita, inilah tanah air kita. Di sinilah kita akan disemadikan. Marilah kita jayakan pembangunan negeri ini demi rasa kecintaan yang tinggi terhadap nusa dan bumi bertuah yang amat bersejarah ini. Sejarah menyaksikan bagaimana kepimpinan Kesultanan Johor Moden yang bermula tahun 1855 telah mengorak langkah dengan kudrat, keringat dan air mata dan meninggalkan legasi kegemilangannya. Pembangunan dan pemodenan Johor untuk kita sama-sama teruskan kelangsungannya untuk masa kini dan kita wariskan pula kepada generasi masa depan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita mewarisi sistem pentadbiran moden yang telah diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum Sultan Ibrahim. Pemodenan Johor ditandai dengan dasar mewajibkan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 tahun yang dikuatkuasakan menerusi Enakmen Pendidikan 1902. Kesannya, dasar pendidikan itu telah melahirkan ramai pemimpin di Johor. Sehubungan dengan itu, kerajaan Johor beriltizam untuk menjadikan Johor terus maju bertunjangkan idea dan pemikiran daripada tokoh-tokoh pemimpin Johor. Kita berhasrat untuk menjemput tokoh-tokoh Johor untuk bertandang di Johor Bahru untuk memperkasakan kepimpinan bangsa Johor.
Oleh yang demikian, Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS) yang akan diberi jenama baru iaitu Institut Dato’ Onn tidak lama lagi, akan bertujuan untuk memperkasa dan melaksanakan Program Hikmah Johor bagi mengiktiraf sumbangan besar pemimpin dari Johor. Program ini juga bertujuan untuk menggembleng idea dan pengalaman mantan-mantan Menteri Besar Johor dalam membangunkan negeri Johor Darul Ta’zim. Pengalaman mereka sangat berharga untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama bangsa Johor terutama dalam kalangan golongan anak muda. Justeru, selain menyediakan platform untuk berkongsi idea dan pengalaman menerusi program yang akan dirancang, semua mantan Menteri Besar Johor akan disediakan seorang pegawai khas yang boleh membantu mereka dalam memudah cara pelbagai perkara yang berkaitan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, merupakan satu dokumen rujukan yang inklusif dan komprehensif yang dirangka dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama dalam Rancangan Pembangunan Negeri. Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 merupakan pelan hala tuju yang dijangka dapat memacu pembangunan Johor secara progresif dan dinamik dengan berpaksikan visi Negeri Berprestasi Tinggi Bangsa Johor Bestari. Secara keseluruhannya pelan ini mempunyai 8 teras yang dijadikan dasar kerajaan negeri dalam melaksanakan strategi pembangunan yang menyokong 3 tunjang utama iaitu, Mampan Ekonomi, Mampan Fizikal dan Mampan Sosial. Saya yakin suatu anjakan paradigma mampu dilakukan dalam mencorakkan masa depan Johor yang gemilang bagi tempoh sedekat akan datang. Untuk menjadikan negeri Johor sebagai negeri berprestasi tinggi dan ianya cukup serasi dengan gagasan yang kita bawa iaitu Makmur Johor.
Pada hari ini kita amat bertuah apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia akan hadir bagi melancarkan secara rasmi Buku Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030. Ribuan terima kasih Yang Amat Berhormat Tan Sri. (Dewan Bertepuk).
Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan Johor 2021 yang telah dibentangkan pada 26 November yang lalu, sebenarnya dirangka khusus bagi membantu seluruh rakyat Johor terutamanya dalam mendepani dan menangani situasi pandemik COVID-19. Saya akui, proses melaksanakan semua titik fokus dalam Belanjawan Johor 2021 bukanlah suatu yang mudah. Pelaksanaan pelbagai inisiatif dijangka semakin mencabar rentetan daripada ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi negara dan global. Khususnya dalam bidang kesihatan, ekonomi dan pelancongan. Negara kita Malaysia dan khususnya Johor tidak terkecuali menerima impak tersebut. Justeru, pembentangan Belanjawan Johor 2021 dirangka dan dihasilkan berdasarkan penilaian terhadap keperluan, keutamaan dan kehendak semasa rakyat Johor.
Semasa dalam sesi perbahasan, Ahli Yang Berhormat Bukit Kepong, Kota Iskandar, Kukup dan Pekan Nanas pernah membangkitkan isu Belanjawan Johor yang defisit. Saya ingin menjelaskan walaupun Belanjawan Johor 2021 merupakan belanjawan defisit yang berjumlah RM248.1 juta, namun, saya ingin memaklumkan bahawa ia digubal berdasarkan konsep counter cyclical measures. Dalam konteks ini, kerajaan negeri Johor akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang, sehingga ekonomi negeri kembali pulih sepenuhnya. Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri Johor mempunyai kekuatan rizab negeri yang cukup bagi menampung jumlah defisit ini. Kekuatan dalaman ini adalah dalam bentuk lebihan terkumpul dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.67 bilion. Iaitu, lebih daripada mencukupi untuk melaksanakan kesemua inisiatif termasuk perbelanjaan mengurus jabatan bagi tahun 2021. Namun, lebihan ini juga perlu diurus dengan cekap dan berkesan serta berhemah supaya
mampu untuk menampung perbelanjaan belanjawan tahun-tahun mendatang yang lebih mencabar.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam sesi perbahasan juga Yang Berhormat Mengkibol dan Bekok pula telah mencadangkan agar kerajaan negeri Johor menubuhkan sebuah Jawatankuasa bagi mengkaji keberkesanan Belanjawan Johor 2021. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat) telah mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kesemua inisiatif Belanjawan Johor 2021. Selain daripada itu, kerajaan negeri juga akan memperluaskan peranan dan tanggungjawab Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Belanjawan Johor 2021. Dengan adanya KPI ini, setiap Pengerusi Jawatankuasa Negeri akan mengambil tanggungjawab terhadap pelbagai inisiatif-inisiatif di bawah portfolio masing-masing dan akan membentangkan kesemua output dan outcome kepada saya sendiri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan, insya-Allah. Kerajaan negeri Johor beriltizam untuk melaporkan kesemua pencapaian bagi setiap inisiatif dalam Belanjawan Johor 2021 secara berkala demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Johor. Langkah ini mampu merealisasikan sistem pentadbiran yang dinamik, telus, adil, cekap dan berkesan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri sepertimana yang dirancang. Justeru KPI dinilai keberkesanannya bukan sahaja dari segi pengurusan tetapi juga impak kepada rakyat.
Saya juga ingin menjelaskan bahawa segala persoalan yang tidak dijawab dalam ucapan penggulungan ini akan dibincangkan dengan teliti bersama-sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pemantauan dan Kesejahteraan). Selain itu, saya juga telah memberi jawapan bertulis kepada persoalan yang dibangkitkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai saranan pemotongan elaun Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk dimasukkan dalam Tabung Bencana Negeri Johor sepertimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Parit Yaani, Jementah dan Kempas, saya berpendapat, kita harus lebih realistik dan perlu memikirkan kesan jangka panjang apabila sesuatu keputusan dibuat. Janganlah kita seperti, yang tinggi tampak jauh, yang dekat julung bersua. Maksudnya dalam sesuatu usaha pemimpinlah yang bertanggungjawab dan dialah yang akan mendapat pujian atau celaan. Saya tidak mahu kelak ekoran keputusan yang dibuat barisan kepimpinan saya dipersalahkan. Kita bukan lari dari tanggungjawab tetapi belajar dari teladan. Saya menghargai cadangan yang telah disampaikan namun, sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor hendaklah tidak bermotifkan untuk menarik simpati rakyat mahupun retorik semata-mata. Saya berharap janganlah politikkan isu pemotongan gaji dan elaun ini. Pada hemat saya, keikhlasan dalam menderma atau berinfak adalah lebih baik daripada terpaksa menderma. Biarlah tangan kanan yang memberi tanpa diketahui oleh tangan kiri. Untuk makluman semua, Ahli Yang Berhormat, sehingga kini jumlah kutipan Tabung Bencana Negeri Johor adalah sebanyak RM32.3 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM28.8 juta telah dibelanjakan untuk pembelian peralatan bagi pasukan barisan hadapan atau front liners, bantuan makanan kepada mangsa COVID-19, peralatan di pusat kuarantin dan sebagainya. Dengan kesempatan ini saya menyeru kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan syarikat swasta serta individu untuk terus menyumbang ke dalam akaun Tabung Bencana Negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, seperti yang saya maklumkan sebelum ini kerajaan negeri Johor amat komited dan mempunyai pendirian yang teguh dalam terus memperjuangkan pembukaan sempadan antara Johor dengan Singapura. Namun begitu, saya berharap
semua pihak terutamanya rakyat Johor, bahawa isu sempadan ini merupakan perkara yang melibatkan hubungan antara dua buah negara iaitu melibatkan kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor sentiasa bertindak proaktif dalam isu ini termasuk mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan rakyat kita khususnya yang tinggal di Johor dapat kembali bekerja di Singapura.
Kerajaan negeri Johor sedar, dan memahami kegusaran yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Tanjung Surat, Panti, Pasir Raja, Sri Medan, Tenggaroh, Kukup, Parit Yaani, Kota Iskandar, Jementah, Mengkibol dan Perling. Bahawa, ekonomi rentas sempadan antara Johor dan Singapura amat penting dalam merangsang, merancakkan dan memulihkan ekonomi Johor. Justeru, pada bulan Jun 2020 kerajaan negeri Johor telah mencadangkan satu SOP untuk peraturan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura melalui pintu masuk antarabangsa iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KESAB) kepada kerajaan persekutuan. SOP cadangan ini telah disemak dan diteliti oleh pihak Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen dan jabatan-jabatan berkepentingan yang telah dibawa dalam rundingan dengan kerajaan Singapura. Hasilnya Malaysia dan Singapura telah bersetuju melaksanakan dua skim iaitu, Periodical Commuting Arrangement (PCA), bagi tujuan bekerja dan Reciprocal Green Lane (RGL) bagi tujuan perniagaan. Pelaksanaan kedua-dua skim ini mendapat sambutan yang baik. Sehingga 14 November 2020, bilangan yang menggunakan skim ini adalah seramai 14,768 orang. Kejayaan dan sambutan baik yang diterima susulan daripada pelaksanaan bagi kedua-dua skim ini telah membuktikan bahawa inisiatif yang diusahakan oleh kerajaan negeri Johor bersama-sama kerajaan persekutuan berupaya memberikan manfaat kepada warga Malaysia yang bekerja di Singapura.
Rentetan daripada kejayaan pelaksanaan kedua-dua skim ini, kerajaan negeri Johor sedang berusaha untuk memohon pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura bagi tujuan ulang-alik harian iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA). Kerajaan negeri Johor telah mengesyorkan SOP bagi skim DCA kepada Kementerian Luar Negeri pada 26 Oktober 2020 dan 9 November 2020. Sekiranya boleh dilaksanakan, maka SOP tersebut akan dibentangkan dalam Sidang Khas, Majlis Keselamatan Negara sebelum dibawa berunding dengan kerajaan Singapura. Pada peringkat permulaan, pengenalan SOP DCA ini, memberi fokus kepada kategori pekerja dan kategori pelajar. Pekerja, pelajar dan ibu bapa bagi pelajar boleh keluar dan masuk ke Johor dan Singapura. Bagi memastikan skim DCA ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri Johor telah menyediakan kapasiti antara 10,000 hingga 30,000 ujian swab dapat dilakukan setiap hari. Hasil kerjasama dengan makmal-makmal persendirian yang diakreditasi oleh Institut Penyelidikan Perubatan. Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, isu pembukaan sempadan antara Johor dan Singapura merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan. Namun, kerajaan negeri Johor amat prihatin dan insaf terhadap kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. Usaha-usaha ini juga membuktikan bahawa kerajaan negeri Johor sentiasa berusaha dan komited dalam memastikan usaha pembukaan sempadan dapat direalisasikan tanpa mengetepikan kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pada pagi yang mulia ini, sukacita saya memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk memberi geran khas berjumlah RM30 juta untuk meringankan bebanan kumpulan rentan yang terjejas dengan COVID-19 di negeri Johor. (Dewan bertepuk). Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Yang Berhormat Bukit Gambir tak boleh bagi, Perdana Menteri boleh. Terima kasih Yang Amat Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, penglibatan ADUN Pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, ingin saya maklumkan, bahawa kepada Ahli Yang Berhormat Penggaram, Skudai, Tangkak, Paloh dan Serom, yang telah membangkitkan isu penyertaan ADUN Pembangkang dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah. Kerajaan negeri Johor menyambut baik di atas keprihatinan dan keikhlasan Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada barisan pembangkang dalam memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan agenda kebajikan dan ekonomi rakyat menjadi keutamaan. Tambahan lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 ini yang masih belum ada penghujungnya. Untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, punca kuasa pelaksanaan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah ini berpandukan kepada Arahan No. 1/2020. Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara Jabatan Perdana Menteri Malaysia, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020. JTPD ini menggantikan Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah. Antara fungsi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah adalah untuk memantau dan menilai impak pelaksanaan program dan projek pembangunan, menyelaras isu-isu pembangunan serta program pembasmian kemiskinan e-Kasih. Selaras dengan Arahan No.1 2020 sebagai punca kuasa penubuhan JTPD, tiada arahan bagi menjemput ADUN Pembangkang hadir ke dalam mesyuarat tersebut. Arahan ini juga diguna pakai semasa Pakatan Harapan mentadbir kerajaan negeri yang lepas.
Perenggan 5 di dalam arahan yang sama telah menjelaskan bahawa sebarang perubahan terhadap keanggotaan Majlis dan Jawatankuasa perlu dipersetujukan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Anggota pentadbiran yang terlibat di dalam Majlis dan Jawatankuasa di bawah Arahan No.1 2020 akan sentiasa memastikan pelaksanaan urusan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Pada masa yang sama, saya ingin tegaskan bahawa segala isu dan masalah berbangkit akan diselesaikan melalui platform ini tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Johor bersedia untuk mempertimbangkan perkara ini dan akan mengangkat cadangan tersebut ke peringkat kerajaan persekutuan. Insya-Allah.
Kini di Johor kita amat bergantung kepadanya kerana pendekatan, cara dan budaya politik kita amat serasi dengan tagline ‘Muafakat Itu Berkat’. Hal ini diserlahkan dengan kesantunan dan kebernasan berbahas di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ini ditambah dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Tuan Speaker dalam mengendalikan persidangan Dewan dengan tersusun dan menyantuni semua Ahli-Ahli Dewan untuk terlibat dalam perbahasan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ingin memberi maklum balas ke atas cadangan Yang Berhormat Jementah, Skudai, Mengkibol, Bekok dan Paloh untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan di peringkat Dewan Undangan Negeri berkaitan isu-isu atau perkara-perkara tertentu. Saya tiada halangan dengan cadangan tersebut kerana ia merupakan salah satu cara atau kaedah dalam mendapatkan hasil terbaik yang dapat memenuhi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini. Bagi tujuan penubuhan itu, perkara tersebut akan dipertimbangkan dan perlu dilaksanakan berpandukan Perlembagaan Negeri iaitu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Pada masa yang sama kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk melantik sepuluh orang Pegawai Penyelidik yang berperanan untuk membantu Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk daripada pembangkang. Pegawai Penyelidik ini akan menjalankan penyelidikan berkaitan pengurusan Dewan Undangan Negeri sekali gus menambah baik pentadbiran Dewan dan perbahasan yang lebih dinamik.
Kerajaan negeri Johor amat mengalu-alukan sekali gus menyokong Projek Pembangunan Wilayah-Wilayah Koridor Ekonomi seperti Iskandar Malaysia dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dalam merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di sesebuah wilayah atau kawasan. Projek dan program pembangunan Iskandar Malaysia lebih tertumpu di tiga buah daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian menerusi pelbagai pelaburan dalam sektor yang dikenal pasti. Manakala wilayah Timur negeri Johor iaitu Mersing juga menjadi sebahagian wilayah dalam Program Pembangunan ECER. Wilayah Ekonomi Pantai Timur sehingga kini telah berjaya menarik minat pelabur dalam sektor pelancongan dan pertanian dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.61 bilion di daerah Mersing sahaja. Susulan kejayaan itu, ECER merancang untuk memperluaskan kawasannya menerusi pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 yang melibatkan daerah Segamat seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini. Kawasan ini dirancang oleh kerajaan negeri untuk memfokus kepada sektor pertanian sekali gus menjayakan inisiatif Agenda Jaminan Bekalan Makanan. Oleh yang demikian, kerajaan Johor mohon supaya proses pengisytiharan Segamat sebagai wilayah baru ECER dapat dijalankan dengan segera di peringkat kerajaan persekutuan. Saya percaya dengan keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, proses memasukkan daerah Segamat ke dalam pembangunan koridor ECER itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi di daerah tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat Buluh Kasap, Tangkak, Skudai, Jementah, Mengkibol, Pekan Nenas, Bukit Batu, Penawar dan Yong Peng turut membangkitkan isu tanah terbiar dan mempersoal tindakan kerajaan terhadap tanah-tanah yang melanggar syarat. Kerajaan negeri Johor sangat mengalu-alukan pelbagai pandangan dan cadangan yang dikemukakan berhubung dengan cara untuk mengatasi isu tanah-tanah terbiar. Saya juga ingin berkongsi isu yang sama kerana sepatutnya kawasan tanah yang ada diusahakan sebaiknya yang memberi manfaat dalam meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang ditekankan dalam titik fokus pembangunan sektor pertanian, saya berpendapat bahawa penggunaan aset semula jadi seperti tanah secara optimum adalah penting bagi menghasilkan impak yang signifikan kepada jumlah pengeluaran produk pertanian di Johor. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor melihat isu tanah terbiar ini secara kolektif dan mengambil kira faktor-faktor utama mengapa berlakunya isu-isu tanah terbiar. Antara faktor-faktor yang dikenal pasti adalah kedudukan tanah yang jauh daripada tempat kediaman, tanah yang dimiliki oleh ramai pemilik dalam satu geran, ketiga faktor lokaliti dan rupa bentuk muka bumi tanah. Keempat, kemampuan pemilik tanah menyediakan modal permulaan bagi mengusahakan tanah dan pelbagai faktor lain. Dengan mengambil kira hala tuju kerajaan negeri Johor yang menekankan Agenda Jaminan Bekalan Makanan, maka kawasan tanah terbiar atau tanah pertanian boleh di masukkan dalam program zon pelaburan makanan, zon tanaman makanan dan juga Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan.
Kerajaan negeri Johor juga mengambil maklum dan akan membuat tindakan lanjut ke atas perkara di atas agar projek pertanian berskala besar di kawasan-kawasan tanah yang telah melanggar syarat nyata tanah dengan menanam tanaman komoditi seperti ladang kelapa sawit. Untuk makluman sidang dewan, pada tahun 2020 inisiatif bagi menangani program pembangunan tanah terbiar sebanyak RM725,000.00 telah disalurkan melalui peruntukan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Ia bertujuan untuk membangunkan tanah terbiar sebanyak 59.48 hektar yang memberi manfaat kepada 21 orang pemohon. Bagi menjayakan usaha ini, kerajaan negeri akan memperkasakan pembangunan tanah-tanah terbiar dengan pelaksanaan Agenda Jaminan Bekalan Makanan termasuk Program Kebun Komuniti dan Kebun Bandar. Inisiatif-inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan sektor pertanian sebagai pencetus sumber ekonomi baru.
Yang Berhormat. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli Yang Berhormat Kukup, Buluh Kasap, Tanjung Surat, Jementah dan Senggarang pula membangkitkan isu pencemaran air dan kaedah pemantauan yang dilaksanakan bagi memastikan kualiti air sentiasa berada dalam keadaan baik dan loji-loji rawatan air berada dalam keadaan beroperasi tanpa gangguan, kaedah pencegahan telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan pemasangan stesen pemantauan kualiti air bagi memudahkan kaedah mengesan kehadiran bahan-bahan pencemaran termasuk ammonia, ferum, nitrat, minyak dan kekeruhan sebelum air berkenaan dirawat di loji-loji rawatan air. Jelasnya kita perlu belajar dari pengalaman negeri lain yang selalu keputusan bekalan air disebabkan pencemaran air sungai. Sejak tahun 2017 Badan Kawal Seliaan Air Johor (BAKAJ) telah memasang tiga unit alat pemantauan kualiti air di lembangan sungai Johor iaitu di Sungai Sayong, Sungai Semanggar dan Sungai Johor. Pemasangan peralatan ini telah membantu pengawalan pencemaran di sungai Johor. Kesannya laporan henti operasi loji oleh pihak Ranhill SAJ juga semakin berkurangan. Malah pada tahun 2020 tiada laporan berkaitan di sepanjang Sungai Johor direkodkan oleh Ranhill SAJ. Sekali gus pengoperasian pengurusan operasi loji dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Johor. Susulan keberkesanan alat pemantauan kualiti air ini, pihak BAKAJ bercadang untuk memasang tiga lagi unit alat pemantauan di Sungai Ulu Benut, Sungai Skudai dan Sungai Muar. Kerajaan negeri berazam untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Johor.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, BAKAJ turut menggunakan kaedah geospatial technology yang digabungkan dengan sistem light detection and ranging. Sistem ini kemudiannya digabungkan dengan Geographic Information System. Sekiranya punca pencemaran dikenal pasti, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang melakukan pencemaran di bawah Seksyen 7A Enakmen Air 1921 pindaan 2014 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000.00. Manakala nilai kompaun yang boleh dikenakan maksimum sehingga RM250,000.00.
Saya ingin juga merujuk pada persoalan dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senggarang berkaitan pengurangan kutipan hasil hutan hanya sekitar RM7 juta setahun. Kita telah mengenal pasti pengurangan kutipan hasil tersebut dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya pengurangan kawasan Hutan Simpan Kekal yang dibuka untuk tujuan pembalakan. Lanjutan daripada keputusan kerajaan negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 5 November 2014 yang membekukan kelulusan baru kuota pembalakan dalam Hutan Simpan Kekal. Ia diikuti dengan keputusan kerajaan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 1 April 2020 membatalkan keseluruhan baki kawasan membalak yang telah diluluskan oleh Lembaga Tawaran Membalak. Pengurangan hasil hutan juga dipengaruhi oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak pandemik COVID-19 yang bermula pada awal tahun 2020. Justeru aktiviti pembalakan termasuk pengeluaran kayu tidak dibenarkan di samping faktor cuaca hujan yang menyebabkan pengeluaran kayu dari kawasan lesen tidak dapat dijalankan.
Untuk makluman Ahli Dewan, sejak bulan Jun 2020 hingga kini. Jabatan Perhutanan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan bagi menyemak dakwaan tersebut iaitu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Johor serta ibu pejabat SPRM Putrajaya. Di samping siasatan yang dijalankan sendiri oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Unit Integriti Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Hasilnya kerajaan negeri mendapati kesemua dakwaan itu didapati tidak berasas dan berunsur fitnah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, mengenai pembangunan pekan Sedili yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sedili. Pihak Kumpulan Prasarana Rakyat Johor telah menyediakan kertas kajian cadangan bertarikh 4 Julai 2017 bersama-sama dengan Majlis Daerah Kota Tinggi. Suatu penyelarasan dan tindakan kerja dijalankan dengan menubuhkan kumpulan kemajuan pembangunan pekan Sedili yang melibatkan beberapa agensi kerajaan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan saya sentiasa komited untuk membangunkan seluruh pelosok negeri Johor khususnya kawasan-kawasan tumpuan yang melibatkan sektor pelaburan, pelancongan, pembangunan ekonomi serta pembangunan sosial. Memandangkan Sedili kaya dengan nilai sejarah intelektualnya, Pihak Berkuasa Tempatan boleh bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Penulis Johor bagi menghasilkan karya bermutu bagi mengangkat lagi nama Sedili dan Kota Tinggi sebagai daerah bersejarah. Apatah lagi salah seorang daripada Tokoh Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang turut berasal dari Sedili.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh penjawat awam kerajaan negeri Johor. Saya dan barisan EXCO serta penjawat awam Johor berikrar akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Johor. Marilah kita sama-sama berganding bahu ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Untuk menjadikan Johor semakin makmur dan sama-sama mengharungi dan menangani pasca pandemik COVID-19. Marilah kita melangkah sederap dan berusaha bersama-sama agar dapat mengembalikan semula kemakmuran negeri Johor serta membawa pembangunan yang berpaksikan kesejahteraan rakyat bangsa Johor. Sebagai penggulungan dalam Belanjawan Johor 2021, saya ingin mengingatkan semua bahawa terdapat 12 Agenda Kebajikan, Keberdayaan dan Keberhasilan Utama selain 3 pencetus ekonomi baharu yang merangkumi Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor atau Johor Food Security, Agenda Johor Digital dan penubuhan Johor Economic Tourism And Culture Office di Singapura. Saya berharap semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berfikir dengan lebih rasional dan terbuka. Kita boleh berkongsi idea dan mencapai persefahaman dalam penentuan dasar yang berimpak kepada kesejahteraan rakyat dan bukan untuk individu yang sering memandang serong terhadap usaha-usaha kerajaan hari ini.
Marilah kita mengetepikan segala perbezaan dalam memastikan kita berupaya menyumbang untuk meningkatkan tahap Johor sebagai negeri terbaik di negara ini dan sekali gus berjaya mengekang gelombang pandemik COVID-19 yang berlaku pada hari ini. Dengan berkat dua tagline Kesultanan Johor Moden yang berasaskan Fasal 61, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor iaitu “Kepada Allah Berserah” dan “Muafakat Itu Berkat”, insya-Allah negeri Johor akan berjaya mengharungi cabaran semasa dan mencapai kejayaan gemilang masa depan. Sesungguhnya Johor tetap nombor #01, yang menyumbang kepada peradaban tinggi bangsa Johor di peringkat nasional dan global. Sebagai penutup penggulungan ini, izinkan saya menitipkan pantun berikut, negeri Johor paling selatan, negeri indah tidak terperi, bangsa Johor kukuh ingatan, Muafakat Johor jadi penyeri. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih, tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Terima kasih saya bagi pihak Dewan mengucapkan ribuan terima kasih atas
sokongan untuk memperkasakan Dewan. Selepas ini, Majlis Pelancaran Buku Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Selepas ini di ruang legar Dewan Johor, semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dijemput hadir. Saya tangguhkan persidangan ini sehingga jam 2.30 petang. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.13 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2021 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.
Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.
JADUAL.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini, ialah jumlah wang sebanyak RM1,401,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.01, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Bagi Maksud Bekalan B.01, peruntukan sebanyak RM1,401,000.00 adalah diperlukan untuk pengurusan pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM933,000.00 diperlukan untuk pembayaran emolumen serta elaun-elaun kepada anggota-anggota jabatan dan bakinya sebanyak RM468,000.00 ialah untuk perbelanjaan-perbelanjaan pengurusan yang lain.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM152,229,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.01, peruntukan sebanyak RM1,401,000.00 adalah diperlukan untuk pengurusan pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM933,000.00 diperlukan untuk pembayaran emolumen serta elaun-elaun kepada anggota-anggota jabatan dan bakinya sebanyak RM468,000.00 ialah untuk perbelanjaan-perbelanjaan pengurusan yang lain.
Sebentar, ambil nafas Yang Berhormat.
Maaf saya Tuan Pengerusi.
Cool, cool, relaks. (Dewan ketawa) Balik semula.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan peruntukan sebanyak RM152,229,000.00 diperlukan bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran pejabat-pejabat di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan dalam melaksanakan program-program dan aktiviti-aktiviti kerajaan bagi memajukan dan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri Johor, peruntukan yang diperlukan bagi tiap-tiap aktiviti adalah seperti berikut : Bahagian Pengurusan, RM32,302,000.00; Pelbagai Perkhidmatan, RM38,568,000.00; Menteri Besar Johor, RM14,498,000.00; Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, RM7,641,000.00; Dewan Negeri Johor, RM19,814,000.00; Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), RM 5,434,000.00; Audit Dalam, RM1,261,000.00; Pemberian Kepada Agensi, RM17,500,000.00; Kem Sultan Ibrahim, RM15,211,000.00.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM30,571,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi. Bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, sejumlah RM30,571,000.00 disediakan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti berikut : Bahagian Sains Teknologi dan ICT, RM18,421,000.00; Kebudayaan, RM12,150,000.00. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM23,230,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah jadi sebahagian daripada jadual ini.
Yang Berhormat Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, sejumlah RM23,230,000.00 disediakan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti berikut : Bahagian Kerajaan Tempatan sejumlah RM13,261,000.00; Bahagian Perumahan, RM 8,168,000.00; Pejabat Landskap, RM1,801,000.00.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM7,000,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, peruntukan berjumlah RM7,000,000.00 disediakan di bawah
Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran di bawah Bahagian Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM27,596,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Pengerusi, bagi Maksud Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, sejumlah RM27,596,000.00 disediakan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti berikut : Rakan Muda Dan Sukan, RM25,500,000.00; Tourism Johor, RM 2,096,000.00.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM11,183,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, sejumlah RM11,183,000.00 disediakan bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti berikut : Bahagian Pengurusan Sumber Manusia sebanyak RM9,582,000.00; Invest Johor, RM1,601,000.00. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM15,838,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.04, Perbendaharaan Negeri itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.04, peruntukan sebanyak RM15,838,000.00 diperlukan bagi pengurusan dan pentadbiran Perbendaharaan Negeri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7,351,000.00 diperuntukkan untuk perbelanjaan emolumen, RM2,976,000.00 untuk Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan, RM210,000.00 untuk pemilikan aset, RM301,000.00 untuk perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan baki RM5,000,000.00 untuk perbelanjaan Pulang Balik Hasil dan Hapus Kira.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM20,814,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.07, Jabatan Pertanian itu; RM76,038,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.08, Jabatan Pengairan dan Saliran itu; RM11,991,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.07, peruntukan sebanyak RM20,814,000.00 adalah diperlukan untuk pengurusan Jabatan Pertanian. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15,753,000.00 diperlukan untuk pembayaran emolumen serta elaun-elaun kepada anggota-anggota jabatan dan bakinya sebanyak RM5,061,000.00 ialah untuk perbelanjaan-perbelanjaan pengurusan yang lain.
Di bawah Maksud Bekalan B.08, Jabatan Pengairan dan Saliran, peruntukan yang diperlukan adalah berjumlah RM76,038,000.00. Sebanyak RM28,880,000.00 disediakan untuk perbelanjaan emolumen. RM46,244,000.00 diperlukan untuk perkhidmatan dan bekalan termasuk pengendalian dan penyelenggaraan sungai-sungai, RM470,000.00 disediakan untuk pemilikan aset jabatan dan RM444,000.00 pula disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap termasuk bayaran gantian cuti rehat kepada anggota-anggota jabatan yang bersara.
Di bawah maksud Bekalan B.10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Peruntukan sebanyak RM11,991,000.00 diperlukan untuk perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar termasuklah emolumen kakitangan dan bagi melaksanakan tugas-tugas pengurusan yang berkaitan dengan haiwan serta meningkat kemajuan industri ternakan di seluruh negeri ini.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM6,530,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.12, Pejabat Kebun Bunga DiRaja Johor itu, RM4,871,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.13, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.12, peruntukan sejumlah RM6,530,000.00 diperlukan untuk perbelanjaan pengurusan Pejabat Kebun Bunga Kebun Bunga DiRaja Johor. Peruntukan sebanyak RM4,871,000.00 di bawah Maksud Bekalan B.13 pula adalah untuk Jabatan Perancang Bandar dan Desa bagi melaksanakan tugas-tugas pengawalan pembangunan fizikal, penyelarasan perancangan fizikal serta penyediaan rancangan-rancangan tempatan.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM17,678,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.19, Jabatan Perhutanan itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di Maksud Bekalan B.19, peruntukan sebanyak RM17,678,000.00 diperlukan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran Jabatan Perhutanan. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM14,093,000.00 adalah perbelanjaan emolumen manakala baki sebanyak RM3,585,000.00 adalah untuk lain-lain perbelanjaan termasuk perkhidmatan dan bekalan jabatan, aset serta pemberian dan kenaan bayaran tetap.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM260,048,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.21, Jabatan Agama Islam itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.21, Jabatan Agama Islam, peruntukan sebanyak RM260,048,000.00 diperlukan untuk melaksanakan kegiatan-kegiatan agama Islam di dalam usaha-usaha meninggikan syiar Islam termasuk perbelanjaan-perbelanjaan pengurusan di bawah Pendidikan Agama Islam serta bantuan kepada sekolah-sekolah Arab dan sekolah agama rakyat KAFA. Peruntukan diperlukan bagi tiap-tiap,bagi tiap-tiap aktiviti adalah seperti berikut, Jabatan Agama Islam, pentadbiran am sebanyak RM59,382,000.00. Pendidikan Agama Islam, RM200,666,000,00.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM34,727,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat, peruntukan yang diperlukan pada tahun 2021 ialah sebanyak RM34,727,000.00. Dari jumlah tersebut sebanyak RM4,939,000.00 diperlukan untuk pembayaran emolumen kepada anggota-anggota jabatan. RM2,640,000.00 untuk perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan. RM180,000.00 untuk pemilikan aset dan baki sebanyak RM26,968,000.00 untuk perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap yang merupakan bantuan-bantuan dan sumbangan kebajikan kepada individu dan juga masyarakat. Ini termasuklah bantuan kepada penduduk-penduduk miskin dan bantuan malapetaka seperti banjir.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM83,855,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.24, Jabatan Kerja Raya itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.24, Jabatan Kerja Raya, peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2021 ialah berjumlah RM83,855,000.00. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM53,494,000.00 diperlukan untuk pembayaran emolumen kepada anggota-anggota jabatan. RM28,824,000.00 untuk perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan. RM440,000.00 untuk pemilikan aset. RM1,077,000.00 untuk perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap manakala baki sebanyak RM20,000.00 diperlukan bagi menampung perbelanjaan-perbelanjaan lain Jabatan. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM5,513,000 bagi Kepala Perbelanjaan B.26, Muzium DiRaja Abu Bakar Istana Besar Johor itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Pengerusi, di bawah Maksud Bekalan B.26, Muzium DiRaja Abu Bakar Istana Besar Johor, peruntukan yang diperlukan ialah berjumlah RM5,513,000.00. dari jumlah tersebut sebanyak RM2,920,000.00 adalah perbelanjaan emolumen, manakala baki sebanyak RM2,593,000.00 adalah untuk lain-lain perbelanjaan termasuk perkhidmatan dan bekalan jabatan, aset, dan kenaan bayaran tetap. Terima kasih.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM860,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.28, Sumbangan Kepada Kumpulan Wang Berkanun itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di bawah Maksud Bekalan B.28 pula, peruntukan sebanyak, peruntukan sebanyak RM860,000.00 diperlukan untuk Sumbangan Kepada Kumpulan Wang Berkanun. Jumlah tersebut diperlukan bagi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang-Kumpulan Wang di bawah Seksyen 10 yang lain.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM11,861,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.29, Jabatan Kehakiman Syariah itu; RM2,854,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.32 Jabatan Mufti itu; RM2,513,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.33 Jabatan Pendakwaan Syariah itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di bawah Maksud Bekalan B.29, peruntukan sebanyak RM11,861,000.00 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kehakiman Syariah bagi tahun 2021. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM6,677,000.00 disediakan untuk perbelanjaan emolumen sebanyak RM4,062,000.00 untuk perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan. Sebanyak RM1,034,000.00 untuk perbelanjaan pemilikan aset dan sebanyak RM88,000.00 untuk perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap.
Di bawah Maksud Bekalan B.32, peruntukan sebanyak RM2,854,000.00 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran bagi Jabatan Mufti.
Di bawah Maksud Bekalan B.33, peruntukan sebanyak RM2,513,000.00 disediakan untuk perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran bagi Jabatan Pendakwaan Syariah.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM5,044,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.41, Pejabat Daerah Johor Bahru itu; RM6,055,000.00, bagi Kepala Perbelanjaan B.42, Pejabat Daerah Muar itu; RM5,542,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat itu; RM 4,764,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.44, Pejabat Daerah Pontian itu; RM4,951,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.45, Pejabat Daerah Segamat itu; RM4,540,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.46, Pejabat Daerah Kluang itu; RM4,846,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.47, Pejabat Daerah Kota Tinggi itu; RM3,962,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.48, Pejabat Daerah Mersing itu; RM3,553,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan
B.49, Pejabat Daerah Kulai itu; RM3,437,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.50, Pejabat Daerah Tangkak itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di bawah Maksud Bekalan B.41, Pejabat Daerah Johor Bahru itu diperuntukkan sebanyak RM5,044,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.42, Pejabat Daerah Muar diperuntukkan sebanyak RM6,055,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat diperuntukkan sebanyak RM5,542,000.00.00. Di bawah Maksud Bekalan B.44, Pejabat Daerah Pontian diperuntukkan sebanyak RM4,764,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.45, Pejabat Daerah Segamat diperuntukkan sebanyak RM4,951,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.46, Pejabat Daerah Kluang diperuntukkan sebanyak RM4,540,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.47, Pejabat Daerah Kota Tinggi diperuntukkan sebanyak RM4,846,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.48, Pejabat Daerah Mersing diperuntukkan sebanyak RM3,962,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.49, Pejabat Daerah Kulai diperuntukkan sebanyak RM3,553,000.00 dan di bawah Maksud Bekalan B.50, Pejabat Daerah Tangkak diperuntukkan sebanyak RM3,437,000.00. Kesemua peruntukan tersebut disediakan bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri Johor
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM30,854,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.51, Pejabat Tanah dan Galian itu; RM7,131,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.52, Pejabat Tanah Johor Bahru itu; RM5,283,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.53, Pejabat Tanah Muar itu; RM6,295,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.54, Pejabat Tanah Batu Pahat itu; RM3,719,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.55, Pejabat Tanah Pontian itu; RM5,151,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.56, Pejabat Tanah Segamat itu; RM4,895,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.57, Pejabat Tanah Kluang itu; RM4,988,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.58, Pejabat Tanah Kota Tinggi itu; RM3,559,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.59, Pejabat Tanah Mersing itu; RM3,346,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.60, Pejabat Tanah Kulai itu; RM3,603,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.61, Pejabat Tanah Tangkak itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di bawah Maksud Bekalan B.51, Pejabat Tanah Dan Galian diperuntukkan sebanyak RM30,854,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.52, Pejabat Tanah Johor Bahru diperuntukkan sebanyak RM7,131,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.53, Pejabat Tanah Muar diperuntukkan sebanyak RM5,283,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.54, Pejabat Tanah Batu Pahat diperuntukkan sebanyak RM6,295,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.55, Pejabat Tanah Pontian diperuntukkan sebanyak RM3,719,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.56, Pejabat Tanah
Segamat diperuntukkan sebanyak RM5,151,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.57, Pejabat Tanah Kluang diperuntukkan sebanyak RM4,895,000. Di bawah Maksud Bekalan B.58, Pejabat Tanah Kota Tinggi diperuntukkan sebanyak RM4,988,000.00 dan di bawah Maksud Bekalan B.59, Pejabat Tanah Mersing diperuntukkan sebanyak RM3,559,000.00. Di bawah Maksud Bekalan B.60, Pejabat Tanah Kulai diperuntukkan sebanyak RM3,346,000.00 dan di bawah Maksud Bekalan B.61, Pejabat Tanah Tangkak diperuntukkan sebanyak RM3,603,000.00. Kesemua peruntukan tersebut disediakan bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran Pejabat-pejabat Tanah di seluruh negeri Johor.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.
Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 2.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 Jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 1.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Dewan Negeri Bersidang Semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan, maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan.
Bahawa dengan ini adalah Diperundang-Undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut:-
Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan (2021) Tahun 2020 dan hendaklah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.
Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini serta-merta berpindah menjadi Jawatankuasa bagi keseluruhan Dewan Negeri untuk menimbangkan anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2021 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2020 dan memperakukan sama ada peranggaran itu patut diluluskan oleh Dewan ini dengan dipinda atau tiada dipinda.
Yang Berhormat Tuan Speaker, peruntukan yang diperlukan untuk Peranggaran Pembangunan Tahun 2021 adalah berjumlah RM850,000,000 di bawah Empat (4) Jawatankuasa seperti berikut:-
1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor – RM632,040,000.00.
2. Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor – RM43,000,000.00.
3. Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor – RM65,960,000.00.
4. Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor – RM109,000,000.00.
Penjelasan lanjut bagi peruntukan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.
Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM270,000,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.70, Pejabat Menteri Besar Johor itu; RM280,330,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.71, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) itu; RM81,710,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.72, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) itu dipersetujukan.
Di bawah Maksud Pembangunan 70, Pejabat Menteri Besar Johor, peruntukan sebanyak RM270,000,000.00 disediakan bagi Tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM206,000,000.00 diperlukan bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan termasuk Pembangunan Fizikal, Pembangunan Sosial dan Pembangunan Kerja-kerja Kecil. Sebanyak RM14,000,000.00 pula disediakan untuk perbelanjaan Pengambilan Balik Tanah bagi tujuan Projek-projek Pembangunan Kemudahan Awam
manakala selebihnya sebanyak RM50,000,000.00 disediakan bagi Projek-projek Khas Daerah di seluruh negeri Johor.
Di bawah Maksud Pembangunan 71, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), peruntukan sebanyak RM280,330,000.00 disediakan untuk Tahun 2021. Sebanyak RM37,800,000.00 disediakan bagi Projek Pembangunan Ekonomi dan Inklusif. Sejumlah RM63,000,000.00 pula diperuntukkan bagi Projek-projek Pembangunan Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selain daripada itu, RM16,350,000.00 disediakan bagi projek-projek di bawah Pertanian dan Industri Asas Tani. Untuk Pembangunan Modal Insan, Keluarga dan Masyarakat, diperuntukkan sejumlah RM13,327,000.00. Bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar, disediakan sejumlah RM71,107,000.00, manakala RM17,446,000.00 disediakan bagi pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi. RM15,000,000.00 pula disediakan bagi program pembangunan Belia dan Sukan. Bagi penggalakan aktiviti pelancongan di negeri Johor, peruntukan sejumlah RM18,300,000.00 disediakan. Akhir sekali sebanyak RM28,000,000.00 disediakan untuk Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
Di bawah Maksud Pembangunan 72, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), peruntukan sebanyak RM81,710,000 disediakan untuk Tahun 2021. Sebanyak RM50,120,000.00 disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih dan naik taraf kuarters kerajaan dan bangunan negeri, bangunan-bangunan milik kerajaan negeri di luar negeri Johor dan bangunan-bangunan kerajaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kota Iskandar serta Masjid Kota Iskandar. Di samping itu juga, sebanyak RM7,000,000.00 disediakan bagi bayaran-bayaran yang berkaitan dengan Kota Iskandar. Sebanyak RM9,565,000.00 pula disediakan bagi pembinaan bangunan-bangunan kerajaan negeri, RM15,000,000.00 disediakan bagi Kerja-kerja Kecil dan akhir sekali sebanyak RM25,000.00 disediakan bagi Kenderaan Penguatkuasaan.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli Yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM65,960,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.73, Jabatan Agama Islam itu dipersetujukan.
Di bawah Maksud Pembangunan 73, Jabatan Agama Islam, peruntukan sebanyak RM65,960,000.00 disediakan untuk Tahun 2021. Sejumlah RM4,800,000.00 disediakan untuk Pusat Islam Iskandar, Johor dan RM44,798,000.00 pula untuk pembangunan Sekolah-sekolah Agama di seluruh Negeri Johor serta Pejabat Pendidikan Islam Negeri Johor. Peruntukan sejumlah RM4,160,000.00 disediakan bagi kenderaan penguatkuasaan dan jentera, kelengkapan masjid-masjid kerajaan, pelaksanaan kerja-kerja yang dirancangkan bagi membina Rumah Pegawai, Guru-guru Agama dan Kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Peruntukan sejumlah RM1,900,000.00 lagi adalah bagi Kelengkapan dan Kemudahan di Makam DiRaja dan Tanah-tanah Perkuburan. Peruntukan sebanyak RM10,302,000.00 pula adalah untuk membina dan memperelok masjid-masjid Johor, Bangunan-bangunan Pejabat Agama Islam Negeri Johor, Bangunan-bangunan Mahkamah Syariah Negeri Johor dan Bangunan-bangunan Jabatan Mufti Johor.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli Yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM109,000,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.74, Jabatan Kerja Raya itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, di bawah Maksud Pembangunan 74, Jabatan Kerja Raya, peruntukan sebanyak RM109,000,000.00 disediakan untuk Tahun 2021. Sebanyak RM53,439,700.00 diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan, menaik taraf serta memperelok jalan dan jambatan negeri dan sebanyak RM2,535,000.00 untuk melebar jalan-jalan negeri, membina tembok tepi sungai dan rancangan mengelak banjir.
Peruntukan sejumlah RM2,732,100.00 juga disediakan untuk menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di bangunan-bangunan kerajaan dan RM2,670,000.00 diperuntukkan untuk kerja-kerja kecil yang lain. Sejumlah RM3,520,000.00 disediakan untuk kerja-kerja pembinaan, menaik taraf dan ubahsuai bangunan-bangunan kerajaan di negeri Johor. Bagi menaik taraf bangunan-bangunan utama kerajaan serta kemudahan dan keperluan bangunan, sejumlah RM4,508,000.00 pula disediakan sebagai peruntukan.
Sejumlah RM37,022,300.00 diperuntukkan untuk bangunan-bangunan negeri, manakala RM1,882,900.00 adalah untuk Bangunan Yayasan Warisan Johor. Akhir sekali RM690,000.00 disediakan untuk Kenderaan dan Jentera.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli Yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM43,000,000.00. bagi Kepala Perbelanjaan P.75, Jabatan Pengairan dan Saliran itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Pembangunan P.75, Jabatan Pengairan dan Saliran, peruntukan sebanyak RM43,000,000.00 disediakan untuk melaksanakan projek-projek bagi tahun 2021. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM7,308,000.00 adalah bagi jentera, kenderaan, loji dan pintu air serta kelengkapan dan sebanyak RM1,650,000.00 disediakan untuk premis dan bangunan Jabatan. Sebanyak RM2,285,000.00 pula disediakan untuk kajian dan reka bentuk projek. Di samping itu, sebanyak RM23,225,000.00 disediakan bagi rancangan tebatan banjir, saliran mesra alam, zon pantai dan lembangan sungai. Sebanyak RM6,260,000.00 disediakan bagi pengurusan sumber air dan hidrologi. Pembangunan infrastruktur pengairan, saliran pertanian dan asas tani serta muara sungai di seluruh negeri Johor, dan akhir sekali sebanyak RM2,272,000.00 disediakan bagi pengurusan keselamatan empangan serta lintasan dan jalan ladang.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan, Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Pengerusi, oleh sebab maksud-maksud penganggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2020 itu telah pun selesai ditimbangkan, maka saya membawa rundingan supaya ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu dimaklumkan serta merta kepada Dewan Negeri.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Dewan Negeri Bersidang Semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Jawatankuasa Dewan ini telah pun menimbang dan meluluskan tanpa pindaan maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2020. Dari itu saya membawa rundingan supaya Dewan ini bersetuju dengan ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu iaitu peruntukan wang berjumlah RM850,000,000.00 yang dicadangkan bagi anggaran perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2021 itu diluluskan oleh Dewan Negeri ini dan dengan itu mengambil ketetapan bahawa sejumlah wang yang tidak melebihi RM850,000,000.00 hendaklah dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan dalam Tahun Kewangan 2021 bagi menyempurnakan maksud yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat yang tersebut.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 3) Tahun 2020.Bill
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 3) Tahun 2020 dibacakan kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang pertama.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga, dan saya membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112 (2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112 (2) ditangguhkan sementara.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang kedua sekarang. Tambahan peruntukan ini merupakan peruntukan tambahan ketiga bagi perbelanjaan bekalan tahun 2020.
Tambahan peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM17,230,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan di bawah 4 Jawatankuasa seperti berikut:
1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor, RM15,005,000.00.
2. Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, RM1,129,000.00.
3. Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, RM216,000.00.
4. Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, RM880,000.00.
Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan ini.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.
Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.
JADUAL.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM173,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pengurusan, peruntukan tambahan sebanyak RM173,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan membayar balik bayaran Bantuan Khas COVID-19 yang telah didahulukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM1,129,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Tuan Pengerusi bagi Maksud Bekalan B.10, Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan sebanyak RM1,129,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tetap bagi 39 anggota Jabatan yang baru.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM880,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat, diperuntukkan sebanyak RM880,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran Bantuan Am Negeri kepada penerima bantuan bagi bulan November dan Disember 2020.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM13,000,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.28, sumbangan kepada Kumpulan Wang Berkanun itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.28, sumbangan kepada Kumpulan Wang Berkanun, peruntukan tambahan sebanyak RM13,000,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan di dalam Kumpulan Wang Amanah Perubatan Johor, bagi menampung bayaran bil-bil berkaitan perubatan dan perjalanan pesakit kakitangan awam, pesara negeri serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor untuk tahun 2020 dan tahun 2021.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM216,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.33, Jabatan Pendakwaan Syariah itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.33, Jabatan Pendakwaan Syariah diperuntukkan sebanyak RM216,000.00 diperlukan untuk menampung pembiayaan emolumen dan juga elaun tetap kepada anggota-anggota Jabatan.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM364,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.44, Pejabat Daerah Pontian itu; RM621,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.45, Pejabat Daerah Segamat itu; RM187,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.49, Pejabat Daerah Kulai itu; RM148,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.55, Pejabat Tanah Pontian itu; RM221,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.56, Pejabat Tanah Segamat
itu; RM82,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.58, Pejabat Tanah Kota Tinggi itu; RM209,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.59, Pejabat Tanah Mersing itu hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.
Yang Berhormat Tuan Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.44, Pejabat Daerah Pontian, peruntukan tambahan sebanyak RM364,000 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tetap kepada anggota-anggota Jabatan yang melibatkan perubahan gaji dan kelulusan kenaikan pangkat.
Bagi Maksud Bekalan B.45, Pejabat Daerah Segamat, peruntukan tambahan sebanyak RM621,000.00 iaitu RM536,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tetap kepada anggota-anggota Jabatan, RM51,000.00 untuk menampung bayaran caruman KWSP majikan disebabkan pertambahan kakitangan dan sebanyak RM34,000.00 untuk menampung perbelanjaan bayaran Bantuan Kewangan COVID-19.
Bagi Maksud Bekalan B.49, Pejabat Daerah Kulai, peruntukan tambahan sebanyak RM187,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tanggung kerja yang telah diluluskan tahun ini.
Bagi Maksud Bekalan B.55, Pejabat Tanah Pontian, peruntukan tambahan sebanyak RM148,000.00 iaitu RM93,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen disebabkan pertambahan kakitangan baru dan kenaikan pangkat kakitangan serta sebanyak RM55,000.00 diperlukan untuk menampung bayaran imbuhan tahunan dan bantuan kewangan kakitangan.
Bagi Maksud Bekalan B.56, Pejabat Tanah Segamat, peruntukan tambahan sebanyak RM221,000.00 iaitu RM156,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tetap kepada anggota-anggota Jabatan, RM18,000.00 untuk menampung bayaran caruman KWSP majikan disebabkan pertambahan kakitangan dan sebanyak RM47,000.00 untuk menampung bayaran imbuhan tahunan dan bantuan kewangan kakitangan.
Bagi Maksud Bekalan B.58, Pejabat Tanah Kota Tinggi, peruntukan tambahan sebanyak RM82,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen dan elaun tetap kepada anggota-anggota Jabatan yang baru.
Bagi Maksud Bekalan B.59, Pejabat Tanah Mersing, peruntukan tambahan sebanyak RM209,000.00 diperlukan untuk menampung pembayaran emolumen kepada anggota-anggota Jabatan.
Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.
Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 2
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
FASAL 1
Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.
Dewan Negeri Bersidang Semula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa, Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan, maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 3) Tahun 2020 dibacakan kali ketiga dan diluluskan sekarang.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali ketiga dan diluluskan.
Bahawa dengan ini adalah Diperundang-Undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut :
Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 3) Tahun 2020.
RUNDINGAN MENGENAI PENGECUALIAN CUKAI HARTA RUMAH KOS RENDAH DAN PENGURANGAN CUKAI HARTA BAGI KATEGORI BANGUNAN PERUMAHAN KOMERSIAL DAN PERINDUSTRIAN.
Rundingan daripada YB Pekan Nanas telah diterima oleh Jurutulis Dewan Negeri di bawah Peraturan Tetap Bilangan 30(2), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, walau bagaimanapun pada hari ini, YB Pekan Nanas ada mengemukakan pindaan terhadap rundingan asal yang dikemukakan. Pindaan yang dibuat adalah dengan menggugurkan perkara mengenai pengecualian cukai harta bagi kategori bangunan perumahan komersial dan perindustrian. Manakala perkara pengecualian cukai bagi harta rumah kos rendah pada tahun 2021 adalah diteruskan. Saya telah meneliti pindaan bertulis yang telah dikemukakan dan mendapati ia telah memenuhi Peraturan Tetap Bilangan 39, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor. Oleh yang demikian, saya meluluskan pindaan tersebut yang dibawa dalam Persidangan hari ini. Suka saya mengingatkan Ahli Yang Berhormat hanya diberi masa 15 minit untuk membawa rundingan itu. Jemput.
Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Speaker. Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kerana menerima pindaan yang telah dibuat terhadap rundingan yang pada asalnya di hantar mengikut Peraturan Tetap Fasal 30(2) dan pindaan tersebut dibuat kerana usul yang asal saya bawa pada asalnya mengandungi dua perkara yang berlainan iaitu pertama, pengecualian cukai harta untuk rumah kos rendah dan kedua, pengurangan cukai harta bagi kategori bangunan, perumahan, komersial dan perindustrian. Pada mulanya, kami berhasrat supaya dua perkara ini boleh dijangka undi belah bahagi secara berasingan supaya mungkin kedua-dua perkara ini dapat diterima atau pun sekurang-kurangnya satu daripada usul tersebut mungkin dapat diterima. Malah, kami telah dimaklumkan mengikut Peraturan bahawa satu usul hanya boleh melibatkan satu kali pengundian. Sebab itu, saya dan Kota Iskandar membuat pindaan supaya hanya satu perkara fokus dibahaskan dalam rundingan ini. Selepas pindaan usul dibuat, rundingan yang dibangkitkan untuk perbahasan Dewan hari ini adalah menghapus kirakan cukai harta rumah kos rendah pada tahun 2021.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, kerana menerima pindaan rundingan ini dan memberi peluang untuk saya membawa rundingan ini dalam Dewan yang mulia ini. Dan saya berharap, semua ahli Dewan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap usul ini supaya kita dapat meringankan beban rakyat dengan mengurangkan cukai harta kepada rumah kos rendah pada masa ini. Usul ini dibangkitkan dalam Dewan ini adalah berpunca kepada keadaan ekonomi negara kita yang sedang menghadapi ancaman yang serius akibat pandemik COVID-19.
Ekonomi kita merudum. Kadar pengangguran melambung tinggi dan disebabkan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat di negeri Johor turut bergantung kepada pembukaan sempadan Johor – Singapura. Cabaran yang dihadapi negeri Johor adalah amat besar, berbanding dengan negeri lain. Banyak perniagaan merosot, kuasa belanja rakyat menurun. Keadaan ekonomi sekarang yang kita hadapi adalah suatu keadaan depression. Memandangkan keadaan ini, usul yang dibangkitkan adalah bertujuan memohon persetujuan semua Ahli Dewan untuk membuat keputusan yang bijaksana dan matang untuk meringankan beban rakyat. Dan pemilik rumah kos rendah merupakan golongan B40 yang sedang menghadapi himpitan ekonomi yang terdesak. Kebanyakan daripada mereka kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Tidak ada simpanan yang mencukupi dalam bank yang membolehkan mereka menghadapi apa-apa jua perubahan dalam kehidupan mereka. Menurut laporan Bank Negara Malaysia, 75% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan wang sekurang-kurangnya RM1,000.00. Apabila hilang sumber pendapatan, ataupun sumber rezeki terjejas sedikit pun, mereka akan menghadapi pelbagai masalah. Di antara mereka ada yang sampai tidak dapat membayar bil elektrik dan air setiap bulan. Oleh itu, pengecualian cukai harta rumah kos rendah pada tahun 2021 adalah amat menepati masa untuk meringankan beban hidup mereka. Untuk makluman semua Ahli Dewan yang dihormati, kerajaan negeri Selangor telah mengecualikan cukai harta rumah kos rendah sejak tahun 2016. Saya amat berharap, semua Ahli Dewan boleh bersetuju dan melaksanakan dasar yang sama untuk menghulurkan bantuan, fokus kepada golongan ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sejak akhir-akhir ini, Pekan Nanas juga mendapati beberapa Pihak Berkuasa Tempatan sedang menyediakan senarai nilaian baharu seperti di kawasan Johor Bahru, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan sebagainya. Apabila senarai nilaian baharu disediakan, banyak penduduk sudah mula risau dan tanya sama ada mereka akan menghadapi masalah kenaikan cukai harta pada masa yang akan datang. Oleh itu, saya juga berharap, kerajaan boleh menangguhkan segala kenaikan cukai harta walaupun senarai nilaian baharu telah siap disediakan buat masa pandemik COVID-19 berleluasa.
Akhir kata, saya menyeru semua Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini bersolidariti demi Johor yang kita cintai. Jangan disebabkan usul ini dibawa oleh pihak pembangkang, ia ditolak untuk menunjukkan kekuatan parti pemerintah. Pada masa yang sama, jika usul ini diterima ia pun bukan bermakna bahawa parti pembangkang menang, kedudukan kerajaan Perikatan Nasional di Johor seumpama telur di hujung tanduk. Jika usul ini diterima dan diluluskan, ini merupakan satu kejayaan rakyat yang dicipta dalam sejarah Dewan yang mulia ini. Apabila negara kita menghadapi ancaman COVID-19, ini merupakan satu masa untuk menunjukkan bahawa walaupun kita ada ideologi yang berbeza, fahaman politik yang berlainan, kita cukup matang dan bijaksana untuk mencapai satu persefahaman yang boleh membawa manfaat kepada rakyat yang kita cintai. Oleh itu, saya sekali lagi memohon jasa baik semua Ahli Dewan untuk menyokong usul pengecualian cukai harta rumah kos rendah pada tahun 2021. Sekian, terima kasih.
Ada sokongan Yang Berhormat?
Terima kasih.
Ucap sokong, tak sokong ini?.
Saya, Kota Iskandar menyokong.
Ok. Oleh kerana rundingan itu telah disokong, saya membenarkan rundingan itu dibahas oleh dua orang ADUN Kerajaan dan dua orang ADUN Pembangkang. Masa diberi 5 hingga 10 minit. Jemput ADUN kerajaan dahulu, ADUN kerajaan dulu.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu Johor Lama ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang dan ruang kepada Johor Lama untuk membahaskan rundingan yang dibawa oleh Pekan Nanas berkaitan dengan isu cukai harta yang dikenakan oleh PBT. Antara inti pati awal, sebenarnya rundingan ini adalah untuk pengecualian cukai harta bagi rumah kos rendah dan pengurangan cukai harta bagi kategori bangunan-bangunan komersial dan sebagainya. Yang disebut oleh Pekan Nanas ialah pengecualian bukan berbentuk pengurangan. Jadi Yang Berhormat, rundingan yang dibawa Pekan Nanas ini kedengarannya sedap dan seolah seperti memperjuangkan rakyat dalam masa kita menghadapi pandemik COVID-19 ini. Jadi di Dewan yang mulia ini, Johor Lama ingin mengupas dan membentangkan beberapa fakta yang mana ianya akan membuktikan kenapa pengecualian cukai harta oleh PBT pada tempoh pandemik ini adalah bukan satu tindakan yang wajar dan rasional untuk dilaksanakan oleh Pihak Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Mengikut pengecualian kepada cukai harta rumah kos rendah tahun 2021, tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan Seksyen 134 dan 135, Akta 171. Walau bagaimanapun, Kerajaan Tempatan dengan kelulusan pihak berkuasa negeri boleh menetapkan suatu kadar yang bersesuaian bagi cukai harta rumah kos rendah bagi tahun 2021 berdasarkan kepada Seksyen 127 Akta 171.
Pada hari Khamis yang lepas Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat telah membentangkan Belanjawan Johor 2021 yang mana belanjawan tersebut walaupun bersifat defisit dengan jumlah sebanyak RM248.14 juta, tetapi dengan segala inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat Johor pada ketika kita menghadapi pandemik ini, ia adalah sangat membantu rakyat di luar sana untuk bernafas.
Ketika belanjawan ini dibentangkan, ramai di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini bertanyakan, di manakah kerajaan mendapat sumbangan atau tabungan bagi menampung kewangan untuk belanjawan ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada program dan sumbangan yang dilaksanakan oleh PBT negeri melalui Yayasan PBT, PBT Negeri Johor juga telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang terdapat dalam Belanjawan 2021 di bawah Agenda Johor Niaga, di bawah perenggan 128 inisiatif kedua yang berbunyi, bagi meringankan beban para penjaja dan peniaga kerajaan negeri akan melaksanakan pengecualian bayaran lesen penjaja, lesen peniaga, PKS Mikro, sewa premis dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar bagi selama setahun berkuat kuasa Januari 2021. Melalui inisiatif ketiga di bawah Johor Niaga juga menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menggalakkan perniagaan kecil-kecilan yang mana PBT dan PUJB akan memainkan peranan untuk menyediakan ruang dan peluang berniaga yang bersesuaian kepada peniaga kecil dan pengusaha food truck.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Johor Lama berpendapat segala inisiatif dan program yang disebutkan tadi pasti akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar yang menerimanya yang mana Johor Lama percaya kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kumpulan B40. Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, Johor Lama berpendapat bahawa, PBT telah pun memainkan peranannya yang cukup besar dalam membantu kerajaan, membantu rakyat yang terkesan ini tanpa perlu mengorbankan sumber pendapatan utamanya iaitu hasil kutipan daripada cukai hartanya. Pengurangan atau pengecualian cukai harta akan menyebabkan PBT tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan. Kos yang ditanggung oleh PBT ketika ini adalah lebih tinggi berbanding jumlah cukai harta yang dibayar oleh pemilik harta. Sebagai contoh saya ambil kawasan yang hampir dengan saya. Yang pertama saya tengok, saya buat kajian di kawasan Bandar Mas, di kawasan Majlis Perbandaran Pengerang. Di kawasan rumah bercampur di mana ramai ataupun penduduknya adalah di kalangan penduduk rumah kos rendah. Jumlah pegangan 658 unit. Cukai harta yang dikutip ialah RM90,472.00. Yang MPP tanggung angkat sampah sahaja RM118,440.00. Potong rumput di bahu jalan, kutipan sampah, pembersihan-pembersihan dan sebagainya RM357,000.00. Jadi, kalau kita campurkan kos yang ditanggung oleh PBT ialah RM475,000.00 berbanding dengan kutipan hanya RM90,000.00 bermakna RM385,000.00 adalah ditanggung oleh PBT.
Contoh kedua, di kampung, di rumah kos rendah taman Teluk Ramunia. Jumlah pegangan 24 unit, jumlah cukai harta RM1,493.00. Kos ditanggung seperti angkat sampah dan sebagainya ialah berjumlah RM6,328.00. Jadi, beginilah jumlah kos yang ditanggung oleh pihak PBT terhadap rumah kos rendah. Merujuk kepada Seksyen 136, Akta 171 jika jumlah cukai harta yang dikenakan bagi sesuatu pegangan kurang daripada RM5.00 setahun. Maka cukai harta tidak perlu dibayar Yang Berhormat Tuan Speaker. Jadi, untuk menjelaskan lagi keadaan, Johor Lama ingin memberikan satu lagi contoh di Majlis Daerah Kota Tinggi yang mempunyai 3,456 unit rumah kos rendah di mana kalau pengecualian yang diminta oleh Pekan Nanas, maka PBT Majlis Daerah Kota Tinggi akan kehilangan RM260,000.00 Yang Berhormat Tuan Speaker, dan ini pasti akan menjejaskan operasi MDKT dan merencatkan pembangunan daerah Kota Tinggi jika ianya dilaksanakan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai makluman kepada Dewan yang mulia ini, kebanyakan PBT negeri Johor ini tidak menaikkan kadar cukai hartanya selama 5 hingga 7 tahun. Seterusnya pada tahun 2019 kerajaan pada ketika itu telah bersetuju untuk 15 PBT kecuali MP Kulai melaksanakan penyelarasan semula memandangkan senarai nilaian dan kadar cukai baru telah melebihi lima tahun. Dan pada tahun ini, pelaksanaan kerja-kerja
penyelarasan semula cukai harta telah dikaji semula memandangkan berlakunya penularan pandemik COVID-19. Ini bermakna Yang Berhormat Tuan Speaker, bahawa PBT negeri Johor telah pun membuat keputusan untuk mengekalkan kadar yang sama untuk tahun 2021 walaupun pihak PBT berpeluang untuk mengenakan suatu kadar yang baru. Di sini Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak PBT telah berkorban dengan hanya mengekalkan kadar cukai hartanya seperti sedia ada dan untuk Pekan Nanas mencadangkan pengecualian cukai harta adalah sangat tidak wajar jika dibandingkan dengan segala usaha, inisiatif dan sumbangan bantuan yang dilakukan oleh PBT negeri Johor.
Yang Berhormat Tuan Speaker, cukai harta adalah sumber pendapatan utama kepada setiap PBT, namun begitu bukan semua PBT yang memperolehi pendapatan yang mencukupi daripada hasil kutipan cukai ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum bahawa pembangunan yang berlaku di negeri Johor ini bukanlah bersifat menyeluruh, terdapat PBT yang mana di dalam kawasan pentadbirannya tidak terdapat kawasan industri yang mana boleh menghasilkan perolehan cukai harta yang banyak. PBT-PBT ini banyak bergantung kepada hasil daripada cukai harta kediaman yang juga kebanyakannya terdiri daripada rumah-rumah kos rendah dan juga hasil bukan cukai lainnya seperti lesen premis perniagaan dan sebagainya. Terdapat PBT sedia ada yang tidak berkemampuan dan bergantung dengan bantuan daripada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Pihak Berkuasa Tempatan ini adalah Kerajaan Tempatan yang menanggung sendiri kos operasinya berdasarkan hasil perolehan pendapatannya.
30 saat lagi Yang Berhormat. 30 saat lagi.
Dengan bahasa ringkasnya PBT ini menjalankan operasinya dengan menggaji staf dan pekerjanya bergantung kepada pendapatannya sendiri.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Dalam kita mengharungi ketidaktentuan harapan akibat daripada pandemik COVID-19 ini, janganlah kita bertindak seperti menggali lubang untuk menutup lubang yang mana bukan sahaja akan menyelesaikan masalah tetapi lebih memburukkan lagi keadaan. Janganlah kerana mahu menambak tebing sungai untuk mengelakkan bencana banjir kita terus-terusan menarah bukit dan gunung sehingga rata. Ketahuilah bukit dan gunung itu bersifat sebagai pasak kepada bumi. Runtuh pasak maka hancurlah bumi ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan ini Johor Lama mengakhiri ucapan dan menolak pengundian pengecualian cukai harta yang dibawa oleh Yang Berhormat Pekan Nanas. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Seterusnya ADUN Pembangkang seorang.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum Kota Iskandar menyampaikan hujah-hujah sokongan kepada rundingan yang dikemukakan oleh Pekan Nanas, izinkan Kota Iskandar menerangkan tiga konsep utama dalam penentuan cukai harta. Pertama asas taksiran kadar. Johor adalah satu-satunya negeri yang mengguna pakai asas taksiran kadar berdasarkan kepada nilai tambah ataupun improve value dengan izin. Walhal negeri-negeri lain berdasarkan kepada nilai tahunan ataupun annual value. Nilai tambah adalah bersamaan dengan nilai pasaran semasa manakala nilai tahunan ataupun annual value berdasarkan kepada nilai sewaan sebulan dalam masa 12 bulan.
Yang kedua asas senarai nilaian, valuation list dengan izin. Senarai nilai ini menurut Seksyen 137, Ceraian 3, Akta Kerajaan Tempatan, perlu disediakan setiap lima tahun sekali. Kenapa Yang Berhormat Tuan Speaker supaya cukai dikenakan berasaskan kepada keadilan lima tahun sekali akan berubah keadaan pasaran, akhirnya rakyat pemilik hartanah membayar cukai yang lebih ketika harga pasaran tinggi dan sebaliknya membayar cukai yang rendah pada harga pasaran yang lebih rendah.
Yang ketiga adalah kadar cukai harta iaitu jumlah cukai harta yang dibayar boleh diperolehi jumlahnya berdasarkan kepada dengan mendarabkan kadar cukai harta dengan nilai tambah tersebut. Dan pada saya kadar cukai harta ini mengikut rekod berbeza mengikut kategori rumah dan juga daripada satu PBT dengan PBT yang lain dan juga kadar cukai harta ini boleh dijadikan fungsi sebagai pengimbang oleh pihak kerajaan sekiranya senarai nilaian yang baru yang dikemukakan terdapat kenaikan harga yang mendadak supaya akhirnya cukai pintu ataupun cukai harta yang dibayar oleh tuan tanah berada dalam kenaikan yang tidak drastik ataupun mendadak.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kota Iskandar menyokong rundingan yang dikemukakan oleh Pekan Nanas berdasarkan kepada enam hujah. Pertama, kediaman adalah merupakan keperluan asasi ataupun necessity kepada rakyat kepada kehidupan manusia dan rumah kos rendah adalah merupakan rumah bersubsidi yang dikhususkan kepada golongan sasaran B40 ataupun yang berpendapatan rendah. Yang Berhormat Tuan Speaker, contoh di Taman Universiti di tempat saya. Rumah kos rendah standard RM150,000.00 cukai setahun adalah RM255. Walaupun jumlah dia kecil kepada kita, tetapi besar maknanya kepada golongan B40.
Yang kedua, sebelum yang kedua, yang pertama tadi, kumpulan B40 ni adalah merupakan golongan yang paling ataupun mudah terkesan dengan impak penularan pandemik COVID-19. Yang kedua, pada dasarnya pemilik hartanah di negeri Johor membayar cukai harta pada bayaran angka yang lebih tinggi daripada sepatutnya. Kenapa saya kata begitu ya Yang Berhormat Tuan Speaker, kerana kebanyakan PBT tidak menyediakan senarai nilaian mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 5 tahun sekali. Average sekarang ini PBT buat aras nilaian berdasarkan kepada 2013. Sepatutnya senarai nilaian yang baru dibuat 2018 bukannya 2020. Keadaan pasaran 2018 dengan 2020 adalah berbeza. Maknanya sekarang lebih tinggi daripada 2018. Kalau kita jadikan asas nilaian tahun ini makna kita akan mengenakan kadar jumlah yang lebih tinggi daripada sepatutnya.
Yang ketiga, Yang Berhormat Tuan Speaker, selari dengan cadangan daripada Pekan Nanas tadi, terdapat 15 PBT yang disebutkan oleh rakan kita tadi bahawa sedang dalam proses melakukan penilaian semula ataupun senarai nilaian baru maka saya setuju dengan cadangan Pekan Nanas supaya penguatkuasaan itu ditangguhkan kepada suatu masa yang lebih sesuai dan jika sekiranya kerajaan negeri dan PBT masih insist untuk menguatkuasakan pada tahun hadapan maka sila gunakan kadar cukai yang saya sebut tadi sebagai pengimbang untuk memastikan kenaikan cukai harta itu pada jumlah yang lebih munasabah dan juga berpatutan.
Yang keempat, saya nak rebuttal dengan izin apa yang disebutkan oleh rakan kita Johor Lama tadi. Yang dimaksudkan oleh Pekan Nanas adalah pengecualian cukai harta kepada rumah kos rendah bukannya kediaman keseluruhan dan kalau kita lihat purata jumlah kutipan cukai harta oleh PBT untuk kos rendah berbanding dengan keseluruhan cukai harta yang dikutip maklumat yang saya dapat tak sampai pun 2% ke 3% daripada jumlah kutipan
cukai harta keseluruhannya. Oleh itu, saya menyatakan impak kewangan yang dialami oleh PBT-PBT adalah sangat minimum. Dan, juga saya nak sentuh tadi bahawa tidak pun disebut oleh Pekan Nenas adakah pengurangan ini disyorkan kepada kesemua 16 PBT. Tidak, saya tak dengar pun. Maknanya kerajaan negeri dan PBT boleh membuat pertimbangan bersesuaian dengan kedudukan kewangan setiap PBT berkenaan. Mana yang mampu kita cuba usahakan supaya usul atau rundingan yang murni ini dapat direalisasikan.
Yang kelima, Yang Berhormat Tuan Speaker, pada masa ekonomi baik sebelum datangnya COVID-19, cukai harta ni sebagaimana disebut daripada rakan saya daripada Johor Lama tadi mewakili hampir 55% ke 57% daripada hasil pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan. Iaitu mereka ini adalah pembayar cukai yang setia, kalau tak dibayar Yang Berhormat Tuan Speaker harta-harta mudah alih mereka boleh disita. Maknanya mereka ini mahu tak mahu terpaksa menjadi pembayar cukai yang tegar kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Itu sebabnya bila keadaan sebaliknya mestilah pihak kerajaan ataupun PBT mempunyai sikap rahmah ataupun kasihan belas kepada mereka yang berpendapatan rendah, yang mudah terkesan dengan COVID-19 supaya mereka boleh melangsungkan kehidupan mereka sebagaimana kita. Kalau dilihat daripada aspek rahmah di dalam konsep dibawa oleh Rasulullahlah SAW di dalam Suratul Anbia ayat 107. (Bacaan surah), “Tidaklah kami utuskan kamu wahai Muhammad melainkan untuk merahmat kepada sekalian alam”. Makna rahmat di sini bermakna adil, belas kasihan, bertolak ansur dan juga berkasih sayang. Maknanya tuan-tuan, sekiranya pihak kerajaan menerima usul ataupun rundingan ini, maka pengecualian bayaran cukai harta bagi rumah kos rendah ini boleh dianggap sebagai satu token ataupun penghargaan ke atas kesetiaan pemilik hartanah rumah kos rendah selama ini yang menyumbang pendapatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Yang terakhir Yang Berhormat Tuan Speaker. Usul yang dikemukakan oleh Pekan Nanas sebagaimana saya sebut tadi tidak pun menyentuh ataupun menyebut perlu dilaksanakan kepada 16 PBT yang terdapat di negeri Johor. Akhirnya saya mengesyorkan supaya sokongan Yang Berhormat Ahli Dewan yang mulai ini sangat penting bagi kita memberi isyarat yang jelas dan terang bahawa kerajaan Johor sangat prihatin terhadap jasa pembayar cukai harta selama ini dan juga sangat prihatin kepada nasib dan juga kesusahan yang menimpa mereka khusus dalam menghadapi impak daripada penularan pandemik COVID-19. Sekian, Yang Berhormat Tuan Speaker.
Pergi ke pasar membeli ikan, ikan dibeli bersama singkong, setakat ini hujah diberikan, Kota Iskandar mohon menyokong. Wabilahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Kota Iskandar. ADUN daripada kerajaan. Jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Berselawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya paling susah, apa yang dibawa oleh Yang Berhormat Pekan Nanas tadi. Bila dia merayu-rayu tu kan. Pertamanya, saya rasa pelik...
Tu belum Johor Jaya lagi tu kan. Baru Pekan Nanas. (Dewan ketawa).
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kerana beri ruang kepada saya untuk berbahas bagi pihak kerajaan. Pertamanya, saya agak terkejut dengan pindaan yang dibuat oleh Yang Berhormat Pekan Nanas. Sebelum ini saya sediakan hampir sepuluh helai peluru untuk saya apa, bahaskan
pada sidang kali ini. Tapi bila dia pinda kepada satu aje pengecualian rumah kos rendah, jadi peluru tu tinggal satu aje. Tapi saya yakin, satu peluru tu satu musuh. Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker,
Bukan musuh, rakan strategik.
Terima kasih kerana mengingatkan saya. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya daripada segi tajuk rundingan ini kita perlu tahun untuk membezakan. Rundingan mengenai pengecualian cukai harta rumah kos rendah. Pengecualian dengan mengurangkan kadar harga, mengurangkan cukai tu beza. Yang YB Pekan Nanas ni cakap itu pengecualian.
Jadi, Yang Berhormat Tuan Speaker saya ingin, izinkan saya untuk kongsi dengan Tuan Speaker dan rakan-rakan Yang Berhormat. Saya ingin merujuk kepada Akta 171. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, di bawah Seksyen 134, berdasarkan rundingan yang dibawa oleh Pekan Nanas, dia menyebut pengecualian untuk rumah kos rendah. Kalau ikut daripada Seksyen 134, ia tidak boleh dilakukan berdasarkan kepada Seksyen ini. Pengecualian hanya menetapkan untuk 4 perkara.
1. Sebagai tempat awam, jadi pengecualian itu boleh dibuat.
2. Sebagai tanah perkuburan.
3. Sekolah awam.
4. Tempat awam bagi maksud khairat atau bagi sains sastera atau seni halus.
Yang Berhormat Tuan Speaker, jelas Seksyen 134, ianya boleh dibaca bersama Seksyen 135. Apabila sesuatu pegangan atau sesuatu bahagian daripadanya digunakan semata mata bagi maksud rekreasi, sosial atau kebajikan dan bukan untuk mendapat keuntungan wang Pihak Berkuasa Negeri, menurut budi bicaranya, mengecualikan pegangan atau bahagian pegangan itu daripada pembayaran semua atau mana-mana kadar atau boleh mengurangkan apa-apa kadar yang dikenakan ke atas pegangan atau bahagian pegangan tersebut. Jelas Yang Berhormat Speaker ya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, apa yang telah termaktub di dalam Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, di bawah Seksyen 134 dan 135, jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai punca kuasa ke atas rundingan yang di bawa oleh Yang Berhormat Pekan Nanas. Kerajaan negeri tidak boleh menurunkan cukai dan hanya boleh mengenakan kadar cukai seperti yang termaktub di bawah Seksyen 127 iaitu yang menyebut, Pihak Berkuasa Tempatan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu mengenakan sama ada secara berasingan atau sebagai suatu kadar yang disatukan, kadar atau kadar tahunan dalam sesuatu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan bagi maksud Akta ini atau bagi maksud lain yang mana adalah kewajipan Pihak Berkuasa Tempatan itu menyempurnakannya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Kesimpulannya Yang Berhormat Tuan Speaker, memang bila rundingan daripada Yang Berhormat Pekan Nanas ini memang agak susahlah. Di luar sana persepsi tu dah pelbagai dah. Dia kata apa, kerajaan tidak memahami masalah rakyat, kerajaan itu dan kerajaan ini. Kata kita kawan? Tapi cara rundingan tu saja jolok untuk kita jadi tebuan. Sebab itu Yang
Berhormat Speaker, bagi pihak kami, janganlah dijadikan rundingan ini sebagai satu agenda politik kepada pihak-pihak yang mempunyai kepentingan atau apa agenda tersurat. Ini bukan masanya. Kan kita dah janji hari tu. Masa kita berbahas. Saya ingat semua Yang Berhormat pembangkang berbahas dan kita di pihak kerajaan pun kita berbahas. Kita adalah rakan strategik seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Tuan Speaker.
Bukan saya yang sebut, Yang Berhormat. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebut.
Oklah. Terima kasih. Terima kasih kerana selalu ingatkan saya. Bila dah petang ini, dia selalu agak tersasul. Tapi saya doalah, supaya tersasul tu akhirnya memberi manfaat kepada kita semua. Yang kat luar ini sebenarnya Yang Berhormat Tuan Speaker, kita kena fahami, bukan kita sogok dengan perkara-perkara yang tidak benar, tidak mustahil dan saya yakin untuk 5 tahun yang akan datang pun sebenarnya akan dibawa perkara yang sama. Tadi Yang Berhormat Kota Iskandar ada kata 5 tahun sekali, 7 tahun sekali. Ya, saya tahu. Saya siapkan saya punya teks ini, saya ingat daripada pukul 10 pagi semalam sampai pukul 11 malam. Atas sebab apa? Kerana nak menjawab rundingan tu, punyalah cukup banyak. Komersial ada, rupanya cuma satu aje yang tinggal.
Pada tahun, Kota Iskandar kalau boleh saya maklumkan di sini, saya tak pernah sesekali nak pertikaikan apa yang kerajaan dulu buat ke, PH ke. Hari ini PN, kita akan bergerak ke depan. Pada tahun 2019, kalau Yang Berhormat Kota Iskandar pun tahu kan, dalam MMK bersetuju supaya 15 PBT melaksanakan penilaian semula bagi pegangan cukai di kawasan masing-masing. 2019 bukan zaman kita tau Yang Berhormat Kota Iskandar. Pada masa itu kerajaan Pakatan Harapan. Kenapa tak dibawa rundingan sebelum ini? Saja kan menyakat kita kan? Dulu lain sekarang lain ke? Sama aje. Ini minta maaf. Saya mengandaikan pada ketika itu mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebelum ini dia dalam keadaan ekonomi kita baik. Mungkin tak mengambil kira apa yang berlaku pada hari ini. Dan sememangnya apa yang berlaku ini di luar kawalan kita semua. Jadi, tak perlulah kita nak persoal zaman PH ke, zaman PN ke apa kan. Yang penting kita nak teruskan pentadbiran yang baik untuk rakyat negeri Johor. (Dewan bertepuk).
Lagipun Tuan Speaker, kita akui pada Oktober 2020 dalam MMK pun sama. Kerajaan yang pada hari ini juga bersetuju melaksanakan penilaian semua PBT diteruskan. Itu pun Yang Berhormat Tuan Speaker, tarikh penguatkuasaan tertakluk kepada keputusan kerajaan dari masa ke semasa. Lagi-lagi dalam suasana COVID-19 ini kan, seperti yang disebut oleh Pekan Nanas, Kota Iskandar, insya-Allah saya yakinlah, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pasti tidak akan ada kezaliman dalam negeri Johor. Insya-Allah. (Dewan bertepuk). Dan saya pun tahu, Yang Berhormat Pekan Nanas sendiri pun tahu, perkara ini dah termaktub dah. 5 hingga 7 tahun sekali kena apa, kita buat penyelarasan semula. Sudah gaharu cendana pula, dah tahu nak minta turun pula.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ringkaskanlah. Tinggal lagi 2 minit. Saya menyokong penuh apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Johor Lama. Johor Lama ada katakan PBT banyak beri sumbangan melalui Yayasan. Yayasan PBT ini ada 16, saya ingat lebih daripada RM11 juta. RM11 juta dibelanjakan untuk membantu rakyat. Bukan kata yang menerima nikmat itu Yang Berhormat pembangkang, kerajaan, bukan saja yang pembayar cukai, yang terima nikmat itu sebenarnya pun di kalangan bukan pembayar cukai. Kalau hari ini, kalau fungsi PBT itu kita hanya letak untuk membantu pembayar-pembayar cukai,
saya ingat dalam keadaan negeri Johor pada hari ini dengan COVID-19 ramai rakyat yang sengsara.
Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin mencadangkanlah kepada Yang Berhormat Pekan Nanas. Tadi saya dah sebut dah Seksyen 134, 135, saya ingin mencadangkan dengan punca kuasa yang ada, sebarang penggubalan Seksyen 134 di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, untuk dimasukkan pengecualian tambahan daripada 4 yang saya sebutkan tadi, adalah di bawah bidang kuasa Parlimen. Yang Berhormat Speaker, mungkin YB Pekan Nanas bolehlah mencadangkan kepada mana-mana Ahli Parlimen, Yang Berhormat Simpang Jeram pun ada. Saya nak sebut di sebelah kiri saya, saya agak menakutkan. Boleh cadangkan dengan Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, beritahu dia, guballah, tambah satu lagi pengecualian rumah kos rendah. Dan insya-Allah, kita pun tak ada masalah. Kerana kita tahu ini bukan bidang kuasa kerajaan negeri. Jadi kita tak mampu untuk lakukan.
Yang Berhormat Speaker, saya cadangkan agar rundingan ini tidak perlulah untuk diundi dan tidak sewajarnya, tidak sepatutnya untuk kita bahaskan di Dewan yang mulia ini. Saya menyeru kepada rakan-rakan sebelah pembangkang, janganlah sampai bila kata rundingan ini kita bahaskan di Dewan Negeri Johor, akan menjadikan pelbagai persepsi yang negatif di luar sana. Yakinlah, kerajaan pada hari ini akan sentiasa dengan rakyat negeri Johor. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ya, terima kasih Sri Medan. Jemput wakil daripada pembangkang, yang terakhir.
Bismillahirrahmannirrahim. Tuan Speaker, izinkan saya untuk bangun, mungkin pembahas yang terakhir dalam sesi ini. Sebagai menyokong rundingan rakan saya Pekan Nanas, yang saya rasa satu rundingan yang bersifat pro rakyat. Jangan bimbang, tenang-tenang saja politik ini. Kita semasa berada di sana kita melakukan yang terbaik untuk rakyat. Dan, bila kita berada di sini kita menyuarakan seterusnya apa yang kita rasa tidak berkesempatan untuk dilakukan semasa kami menjadi kerajaan. Kerajaan hari ini boleh bertukar bila-bila masa. Time will tell.
Saya ingin menyatakan bahawa rakan saya tadi yang terakhir, Yang Berhormat Sri Medan, don’t mislead. Sebab punca kuasa untuk kita bersetuju ataupun tidak untuk menaikkan cukai ini adalah it’s a state matter dengan izin. Jadi, sebagai kerajaan yang ada pada hari ini, saya meneliti dengan cermat pembentangan belanjawan dan juga penggulungan Yang Amat Berhormat Benut, rakan lama saya. Saya rasa tidak ada masalah. There is small matter, perkara kecil. Hanya lebih kurang 2% sahaja daripada keseluruhan kutipan cukai itu yang akan dinikmati oleh keseluruhan rakyat. Bukan untuk bermain politik, tapi just a fact. Kalau bukalah peti-peti undi kita ini, termasuk kawasan saya yang bertanding, rumah-rumah kos rendah ini Yang Amat Berhormat, kebanyakan pengundi setia kepada UMNO, Barisan Nasional. Jadi, apalah salahnya untuk demi rakyat yang walaupun mereka esok tidak mengundi kami, tetapi kami ingin merakamkan pada sidang DUN pada kali ini untuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar consider the best for the rakyat. (Dewan bertepuk). Itu penting. Dalam COVID ini, ramai yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ramai lagi yang di antara kita ini bila berlakunya COVID, kita sebagai Wakil Rakyat yang datang, mereka ini adalah merupakan golongan yang living from hand to mouth, dengan izin. Tak ada pendapatan pada hari ini, mereka tidak boleh hidup. Oleh itu, mereka inilah yang mendiami rumah-rumah kos rendah ini. Oleh itu, non political. Kalau mereka dapat, mereka yang beruntung. Mengundi pada hari pilihan raya nanti itu hak mereka.
Demokrasi. Tapi tugas kami pada hari ini adalah untuk menyokong apa yang dikatakan oleh rundingan Pekan Nanas, rundingan yang saya anggap sebagai pro rakyat yang mesti diberikan perhatian oleh kerajaan yang ada pada hari ini.
Tuan Speaker, 10 minit saya dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada di sini, kami sibuk di Parlimen. Izinkan saya untuk memberikan sedikit komentar tentang belanjawan yang saya teliti secara objektif di bentang oleh Yang Amat Berhormat Benut dan kita semua. Dan, kita punya satu iltizam dengan bajet ini kita mampu untuk sampaikan pada peringkat akar umbi. Dan, saya mohon kepada YAB Benut supaya dengan bajet ini kita pastikan tidak ada snap election. Tidak ada pilihan raya tahun depan. Kalau kita berjumpa dengan semua Ke Bawah Duli Tuanku-Tuanku dalam negara kita ini, semua Tuanku-Tuanku bertitah kalau boleh mahu kerajaan yang stabil, mahu sebuah kerajaan yang kukuh dan kalau boleh kita elak pilihan raya kerana COVID yang akan mengancam kita semua. Oleh itu, Menteri Besar boleh berjumpa dengan Tuanku Johor dan nyatakan bahawa kami Ahli-Ahli Dewan dengan belanjawan yang dibentangkan kita bersedia untuk bersama dan no snap election, itu bagus untuk kita semua. Apatah lagi darurat. Jangan diadakan darurat. Kita rapi COVID, we must leave this COVID. Kita tak mampu lagi nak lock down, tak mampu untuk kurung orang di rumah, ekonomi kita semakin buruk, tidak ada darurat, kita hadapi COVID, suburkan demokrasi dan kita bersama memulihkan ekonomi di Johor ini khasnya. Dengan belanjawan yang telah pun dibentangkan. Kalau Yang Amat Berhormat hilang rakan dalam masa terdekat boleh berunding dengan kami di pihak Pakatan Harapan. Kami adalah merupakan rakan-rakan yang setia. Kami menang dengan mandat rakyat dan kami tidak bawak lari kerusi kami ke sana ke sini. Anything will happen next week dengan izin di Perak. Satu senario baru di Perak sudah jatuh kerajaan.
Azan Yang Berhormat.
Ok Tuan Speaker, kita mahu sebuah kerajaan yang kukuh, yang stabil, kerajaan yang mampu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Tetapi senario politik yang ada pada hari ini tidak menentu. Apa yang berlaku di Perak pada minggu hadapan akan mengubah kembali landskap negara kita. Tetapi saya yakin dan percaya dengan the great grand collusion parti-parti politik yang boleh berjanji setia untuk rakyat, untuk kita hadapi kepentingan rakyat, kita PH, Pakatan Harapan boleh memikirkannya. Dan saya yakin dan percaya bahawa termasuk di negeri Johor ini iaitu saya rasa Yang Berhormat semalam secara tidaklah bergurau orang politik dengan cakap politik saya telah memberikan satu pandangan sepatutnya ada usul percaya kepada UMNO untuk Menteri Besar kita. Tetapi nampaknya tidak ada. Boleh menang atau tidak, kalah atau tidak itu bagi saya bukan itu perkara penting, kerana bagi saya keabsahan politik. The legitimacy of this government must be proven in this house, bagi saya. Dan, kalau siapa pun yang menjadi Menteri Besar kami tidak ada masalah kerana sumpah kami sebagai Ahli Parlimen, sumpah kita sebagai Ahli Dewan Negeri adalah untuk mempertahankan demokrasi, mempertahan perlembagaan dan mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu tapi keabsahan itu penting kerana saya mahu dengan adanya satu collusion yang padu ini yang berteraskan kepada integriti dan kepercayaan. Dah cuba dah kerajaan PN 98% Melayu, 2-3% saja bukan Melayu. Tumbang di Perak mungkin tumbang di federal, kalau tumbang di federal mungkin Simpang Jeram dengan Gambir boleh bincang balik. Apa yang mungkin boleh berlaku, in politic nothing.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Peraturan berapa Yang Berhormat.
Saya dah minta izin, tadi mungkin saya terkeluar sikit daripada ucapan ini jadi...
Peraturan 45(vi).
Yang Berhormat...
Yang ni baru azan Yang Berhormat. Sama-sama duduk.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).
Saya rasa, saya akhiri ucapan saya dengan terima kasih dan saya menyokong rundingan daripada Pekan Nanas.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Yaani menyokong mohon melalui Peraturan Tetap 116, mohon Dewan berundi belah bahagi atas rundingan Pekan Nanas, sekian terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat oleh kerana ada permintaan daripada Parit Yaani untuk berbelah bahagi, jadi sebelum undi belah bahagi dijalankan, sekiranya ada Ahli-Ahli Yang Berhormat berada di luar, saya kira semua dah masukkan tak apalah kita bagi masa satu minit bagi membolehkan Ahli-Ahli Yang Berhormat masuk ke Dewan Negeri sebelum pintu Dewan dikunci bagi membolehkan undi bahagi dijalankan. Satu minit saya ingat semua dah adakan. Satu minitlah.
Dan, minta Jurutulis dan dua Penolong Jurutulis menjadi penghitung bagi unit penghitung undi bagi blok kerajaan dan blok pembangkang. Bersedia. Semua dah adakan. Ok, boleh kunci. Ok, persilakan dah satu minit. Silakan Jurutulis dan pembantu-pembantunya untuk membuat kiraan. Di situ ada 3 ya, Yang Bersetuju, Yang Tidak Bersetuju dan Yang Tidak Berundi. Tidak berundi itu bermakna yang berkecuali dan yang keempat Tidak Hadir. Kita ada tigalah ya pilihan ya. Yang Bersetuju, Yang Tidak Bersetuju dan Yang Tidak Berundi.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Ya, saya.
Boleh saya bagi pandangan sikit, walaupun kita di sini, katakan kita semua bersetuju tetapi tetap punca kuasa bagi perkara ini bukan dari dalam Dewan Negeri...
Itu telah dihujahkan Yang Berhormat. Telah dihujahkan tadi tu.
Tetapi ialah hujah tu betul. Tetapi punca kuasa sebenar bukan pada kita.
Tapi saya rasa tidak fair pulak kalau kita bagi lagi peluang Yang Berhormat. Cukuplah perbahasan tadi.
Tak, ini apa yang saya nak sangkalkan di sini, kalau pun kita setuju tetapi Parlimen tak bersetuju, apa makna kita buat undian di sini. So di sini yang saya nak tanyakan.
Perbahasan dah selesai Yang Berhormat.
Interpretation, Akta. Ini kita bukan tempat untuk kita bincang interpretation...
Dah habis perbahasan tu, saya tak benarkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenar di negeri Terengganu dan Selangor sudah ada buat dasar macam ni. Kalau kita nak cakap ini bukan di bawah kuasa dan kerajaan negeri ada sikit dan sebenar. Kita juga boleh kurangkan kadar cukai kepada sifar. Terima kasih.
Pekan Nanas, duduk. Pekan Nanas saya minta duduk.
Pekan Nanas.
Saya jelaskan, saya jelaskan ya, semua ya. Perbahasan itu dah habis. Ini masa mengundi. Mana ada tengah mengundi buat perbahasan. Tertiblah Yang Berhormat, sedang mengundi kita berbahas macam mana. Masa mengundi, mengundilah masa berbahas, bahaslah ya. So saya tidak benarkan sebarang perbahasan. Kita dalam sidang lagi ni.
Ok, alhamdulillah kita dah dapat keputusan. Ahli-Ahli Yang Berhormat undi belah bahagi ini telah dijalankan. Yang Bersetuju seramai 27 orang, Yang Tidak Bersetuju seramai 29 orang, Yang Tidak Berundi, seramai kosong orang, Yang Tidak Hadir, kosong. Oleh kerana itu maka yang mengundi Tidak Bersetuju lebih ramai daripada Yang Bersetuju maka rundingan itu tidak dipersetujukan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dimaklumkan YB Parit Yaani telah menarik balik rundingan mengenai Pemilihan Ahli Dewan Negara di bawah Peraturan Tetap Bil. 33(2), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor melalui suratnya bertarikh 19 November 2020. Jurutulis Dewan Negeri juga telah memaklumkan kepada semua Ahli Yang Berhormat melalui surat bertarikh 30 November 2020 berhubung perkara ini. Rundingan tersebut adalah disifatkan telah ditarik balik dan ingatan mengenainya hendaklah dimasukkan ke dalam Minit Mesyuarat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan tersebut. Terima kasih.
Ok, dah hujung ini, jadi saya semua orang berpantun saya nak berpantun yang last. Penawar dengar baik-baik. Tarian Johor tarian zapin, tarian Kelantan ulit mayang, kalau hendak jadi pemimpin, selain bijak perlu sembahyang.
Sungguh cantik bunga di taman, bunga raya ditanam di sebelah, pemimpin amanah serta beriman, rakyat dipimpin ke jalan Allah. Hijau menguning padi di sawah, tunduk berisi bagai nak rebah, pendirian kukuh tidak goyah, menghadapi cabaran tidak gelabah. Jadi, tiga-tiga ini ditujukan kepada kita bersamalah sebagai pemimpin.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum Dewan ini ditangguhkan saya dan seluruh Ahli Dewan Negeri Johor ingin merakamkan ucapan penghargaan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan front liners yang sentiasa bersiap siaga dalam menjalankan amanah tanpa mengenal penat dan lelah menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri dan negara ini semenjak menularnya COVID-19 pada bulan Mac yang lalu.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya mohon ampun dan maaf jika ada sebarang kesilapan dan kesalahan. Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4.35 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis Cik Hajah Shubanah binti Yusuf, SIJ., PIS.
Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad
Koordinator Puan Hajah Norela binti Osman
Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Zahiti binti Muhammad Hamdi Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norlydialina binti Isnin Puan Norazilawati binti Masri Puan Raihanah binti Ismail Puan Siti Rohani binti Ahmad Suhaimi Puan Haslizah binti Asmani
Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar