Johor · 22 August 2021

4th session, 1st meeting · 142 turns · 23,862 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan selawat).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinnya sempurnalah sudah Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari Khamis 12 Ogos 2021.

Dengan ini, Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor pada 14 Ogos 2021. Patik dan seluruh Ahli Dewan Negeri merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor yang membawa gelaran Dato’ pada 23 Mac 2021 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana yang telah disarankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor berdasarkan penilaian risiko yang telah dilakukan, suka saya mengingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa Persidangan ini berlangsung bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.

Antaranya ialah :

1. Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan sepanjang masa berada di dalam Dewan Persidangan. Pemakaian pelitup muka berganda (double mask) adalah digalakkan.

2. Sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal (melebihi 1 meter) di antara satu sama lain ketika persidangan dan semasa pergerakan keluar dan masuk Dewan Persidangan.

3. Bercakap-cakap secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan.

4. Penggunaan tandas di dalam Dewan Persidangan dihadkan kepada dua orang sahaja pada satu-satu masa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan kali ini akan dilanjutkan bermula hari ini, 22 Ogos hingga 25 Ogos 2021 bersidang bermula 9.30 pagi sehingga tamat Persidangan.

Sesi soalan lisan akan dipendekkan kepada 1 jam sahaja setiap hari Persidangan bermula jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Maksimum soalan tambahan saya beri dua orang sahaja.

Pembentangan Kertas Mesyuarat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 1 hingga 12 Tahun 2021.

Bilangan 1 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Negeri Johor Tahun 2019.

Bilangan 2 Tahun 2021 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Pertama Tahun

2021.

Bilangan 3 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2010.

Bilangan 4 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2011.

Bilangan 5 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2012.

Bilangan 6 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2013.

Bilangan 7 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2014.

Bilangan 8 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2015.

Bilangan 9 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2016.

Bilangan 10 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2017.

Bilangan 11 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Dan Penyata Kewangan Tabung

Amanah Warisan Negeri Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2018.

Bilangan 12 Tahun 2021 - Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

Johor Tahun 2019.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 13 Tahun 2021.

Bilangan 13 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Perbadanan Bioteknologi dan

Biodiversiti Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2019.

Speaker

Mic Yang Berhormat, Mic.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya · Puteri Wangsa

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 14 dan 15 Tahun 2021.

Bilangan 14 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam

Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 15 Tahun 2021 - Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan

Yayasan Pelajaran Johor Bagi Tahun Berakhir 31

Disember 2019.

Tuan Haji Tosrin bin JarvanthiBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Bukit Permai

Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 16 dan 17 Tahun 2021.

Bilangan 16 Tahun 2021 - Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan

Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang

Islam Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember

2018.

Bilangan 17 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Perbadanan Islam Johor Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Tuan Haji Ayub bin JamilUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Rengit

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 18 hingga 33 Tahun 2021.

Bilangan 18 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Johor Bahru Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 19 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri

Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 20 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Muar Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 21 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Batu Pahat

Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 22 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kluang Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 23 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kulai Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 24 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang

Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 25 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Segamat Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 26 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pengerang

Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 27 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Tangkak Bagi Tahun

Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 28 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Yong Peng Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 29 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Labis Bagi Tahun

Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 30 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Simpang Renggam

Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 31 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Pontian Bagi Tahun

Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 32 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Kota Tinggi Bagi

Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Bilangan 33 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Mersing Bagi Tahun

Berakhir 31 Disember 2019.

Puan Zaiton binti Haji IsmailUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Sungai Balang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 34 Tahun 2021.

Bilangan 34 Tahun 2021 - Penyata Kewangan Yayasan Pembangunan Keluarga

Darul Ta’zim Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Jemput, Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 1.

Berapakah anggaran kerugian ekonomi negeri Johor akibat Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020 dan 2021?

Speaker

Jemput Machap.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 2.

Sejauh manakah pencapaian pertumbuhan ekonomi negeri Johor sepanjang berlakunya pandemik COVID-19 ini?

Speaker

Yang Berhormat Senggarang, jemput.

Tuan Khairuddin bin A. RahimAMANAH · PHSenggarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.

Berapa peratus pengembangan atau penguncupan ekonomi negeri Johor pada tahun 2020 dan berapakah anggaran untuk tahun 2021?

Speaker

Yang Berhormat Parit Yaani, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 4.

Berapa ramaikah penerima bantuan One-Off RM500.00 di kalangan pemegang lesen premis gunting rambut atau salun, pemandu bas/van sekolah berdaftar, peserta dalam senarai e-Kasih selain imam, bilal serta noja serta golongan hilang pekerjaan atau pendapatan?

Speaker

Yang Berhormat Jementah, jemput.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 5.

Nyatakan semua program yang telah dan akan diambil oleh kerajaan negeri Johor untuk membantu rakyat dan sektor-sektor industri yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Senaraikan jumlah peruntukan dan perbelanjaannya bagi setiap program tersebut setakat kini.

Speaker

Yang Berhormat Kukup, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.

Memandangkan wabak COVID-19 semakin meningkat dan rakyat berpendapat kerajaan pusat gagal menanganinya, apakah pelan tindakan negeri Johor supaya rakyat terselamat dan terbela? Apakah kedudukan kewangan negeri dalam menghadapi situasi ini?

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Mengkibol, Machap, Senggarang, Yang Berhormat Kukup, Jementah dan Parit Yaani di atas soalan yang diberikan. Izinkan saya menjawab soalan berkaitan, pertama prestasi ekonomi negeri serta bantuan yang telah dilaksanakan bagi membantu rakyat yang terjejas sepanjang tempoh kawalan pergerakan akibat pandemik COVID-19. Saya mohon untuk menjawab bersekali.

Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Ahli Dewan semua pada tahun 2020, prestasi ekonomi Johor menguncup kepada 4.6% berbanding penguncupan 5.6% di peringkat nasional. Daripada segi nilai tahun 2020, menyaksikan ekonomi Johor mencatatkan nilai sebanyak RM128 bilion iaitu penurunan sebanyak RM6.2 bilion. Namun, negeri Johor buat pertama kali merekodkan KDNK ketiga tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Negeri Johor turut berjaya mengatasi negeri Sarawak dari segi sumbangan kepada KDNK Nasional iaitu pada kadar 9.5%.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, pertumbuhan sektor pertanian telah pun tumbuh pada kadar 3.1%. Malah meningkat berbanding tahun sebelumnya. Sementara sektor perkhidmatan dan juga sektor pembuatan mengalami ataupun merekodkan penguncupan. Sektor perkhidmatan menguncup sebanyak 3.4% sementara sektor pembuatan menguncup sebanyak 3.7%. Dari segi aspek pengunjuran ekonomi negeri bagi tahun 2021 ekonomi Johor diunjurkan bertambah antara 3% hingga 5%. Unjuran ini adalah berdasarkan unjuran di peringkat nasional yang telah dikemas kini oleh Bank Negara iaitu pada kadar 3% hingga 4%.

Walau bagaimanapun, ekonomi Johor pada tahun 2021 kekal pada landasan pemulihan didorong oleh dua perkara yang pertama, kadar vaksinasi negeri semakin meningkat sekali gus membenarkan Johor untuk ke fasa-fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara. Oleh itu, sektor-sektor ekonomi yang dibuka semula secara beransur-ansur akan

memulihkan sentimen isi rumah dan juga perniagaan. Ekonomi Johor akan menerima faedah limpahan kesan positif daripada peningkatan permintaan luaran sebagai contoh dan beberapa permintaan-permintaan lain serta laporan yang berterusan dalam projek-projek infrastruktur yang berskala besar.

Kedua, perkara yang mendorong kepada kekalnya pada landasan pemulihan ialah pakej-pakej rangsangan ekonomi, Ihsan Johor 1.0, 2.0 dan 3.0 yang telah berjaya memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana yang telah dibentangkan di Dewan Negeri dan telah diluluskan melalui Enakmen Perbekalan 2021 Tahun 2020 Belanjawan Negeri Johor pada tahun ini diletakkan sebagai belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta. Ini merujuk kepada penyata kewangan berakhir 17 Ogos 2021, kedudukan kewangan negeri Johor adalah pada tahap stabil dan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan atau Rizab Negeri berjumlah RM1.38 bilion. Prestasi hasil kerajaan negeri yang dikutip sehingga 17 Ogos 2021 adalah berjumlah RM1.05051 bilion iaitu 65.29% berbanding anggaran asal.

Sementara prestasi perbelanjaan mengurus sebanyak RM865.8 juta dengan peratusan sebanyak 46.62%. Prestasi perbelanjaan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM68.10 juta berbanding perbelanjaan pada tahun yang sama. Manakala prestasi perbelanjaan pembangunan mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM255.28 juta atau bersamaan dengan 30.03% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan yang berjumlah RM850 juta pada tahun ini. Jadi, berdasarkan kepada prestasi tersebut kedudukan kewangan negeri Johor pada ketika ini adalah berada pada kedudukan surplus dengan lebihan berjumlah RM184.72 juta.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sementara itu untuk memastikan rakyat Johor terus terbela kerajaan negeri telah mengumumkan perlaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0 yang dilaksanakan secara bersasar dengan penyaluran bantuan kepada golongan yang terjejas dan dimanfaatkan sebaiknya. Kerajaan negeri telah mengumumkan 3 Siri Bantuan Pakej Rangsangan yang menjadikan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM491.25 juta bagi membiayai kesemua 103 inisiatif.

Untuk makluman yang Berhormat Tuan Speaker, sehingga 15 Ogos 2021, seramai 34,796 orang penerima manfaat daripada 5 inisiatif bantuan tunai iaitu dari Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0. Sementara dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 1.0 seramai 275,930 penerima dengan jumlah peruntukan 182.41 juta sementara Pakej Rangsangan Ekonomi Ehsan Johor 2.0 sebanyak 13 inisiatif dengan peruntukan RM117.50 juta telah dibelanjakan dengan penerima yang mendapat manfaat adalah seramai 405,945. Dalam inisiatif Pakej Rangsangan yang ketiga ini seramai 423,691 penerima. Bagi 5 inisiatif sahaja sejak bermulanya Pakej Rangsangan Ekonomi Ehsan Johor 3.0 pertama, kita memberi, pemberian bantuan sekali beri atau One-Off sebanyak RM500.00 kepada pemegang lesen premis gunting rambut ataupun salon yang memanfaatkan 2,669 penerima. Inisiatif ini diperluaskan kepada penerima di kawasan luar bandar. Pejabat-pejabat Daerah telah mengumpul data penerima berkaitan dan penyaluran-penyaluran bantuan juga dijangka diagihkan pada bulan ini setelah data tersebut disahkan. Kedua, pemberian bantuan sekali beri atau One-Off juga sebanyak RM500.00 kepada 2,123 pemandu bas atau van sekolah yang berdaftar. Sehingga kini ianya dimanfaatkan oleh seramai 1,832 penerima. Ketiga ialah pemberian One-Off juga sebanyak RM500.00 kepada peserta dalam e-Kasih dan telah memanfaatkan seramai 2,114 penerima. Keempat, pemberian bantuan sekali beri atau One-Off sebanyak RM500.00 juga kepada imam, bilal dan noja dan telah memanfaatkan seramai 4,518 penerima. Yang kelima pula ialah sumbangan, pemberian sumbangan One-Off sebanyak RM500.00 bagi golongan yang hilang pekerjaan kerana diberhentikan kerja dan ini telah dimanfaatkan oleh seramai 3,583 penerima. Inisiatif ini akan diteruskan sehingga 31 Disember 2020. Terima kasih.

Speaker

Ok, Parit Yaani. Soalan tambahan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Tuan Speaker dan terima kasih Yang Amat Berhormat kepada jawapan yang dikemukakan.

Apa yang kita lihat di sini bahawa oleh kerana RM500.00 kita berikan khususnyalah kepada tukang gunting dan juga yang mendapatkan hasil pekerjaan, yang sekarang ini, khususnya tukang gunting. Ia ditutup, ditutup sepanjang tempoh yang berkenaan sedangkan dia kena tanggung untuk bayar sewa, untuk keluarga dan sebagainya. Jadi, adakah kita sewajarnya boleh tambah lagi khususnya kepada golongan yang berkenaan, yang, sebab melibatkan sewa tempat dan juga sara hidup mereka. Jadi, itu antara perkara yang dikemukakan ramai. Sehingga ke pada hari ini pun masih belum buka kalau tak silap sayalah. Wallahualam, terima kasih.

Speaker

Jemput, Yang Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani. Kalau boleh saya tambah, selain daripada senarai penerima yang saya sebutkan tadi, saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Parit Yaani bahawa kita perlu melihat lebih daripada sektor yang dah kita kenal pasti. Sebab itu kerajaan bukan hanya melalui peruntukan Pejabat Menteri Besar ataupun peruntukan yang kita dah luluskan dalam Belanjawan 2021, agensi-agensi seperti Majlis Agama Islam turut membantu. Pelbagai sektor yang dibantu sama ada bantuan secara bulanan, bantuan melalui senarai e-Kasih dan ada senarai penerima-penerima daripada Majlis Agama Islam. Kemudian pihak PBT, Pihak Berkuasa Tempatan juga turut membantu dengan memberi pengecualian sewa, pengurangan sewa dan sebagainya selain daripada program-program yang serupa dengan kerajaan negeri seperti bantuan bekalan makanan. GLC-GLC termasuklah Yayasan Sultan Ibrahim, Yayasan Raja Zarith semua turut membantu pelbagai sektor, pelbagai golongan. Dan, ini semua memperlengkapkan usaha-usaha membantu rakyat-rakyat yang terkesan oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan dan juga oleh kerana usaha kita untuk menguruskan Pandemik COVID-19 ini.

Jadi, bila Yang Berhormat melihat perlunya kita melihat atau membantu lebih ramai lagi so, di dalam keadaan ini saya percaya Wakil Rakyat-Wakil Rakyat semua adalah tempat permohonan bantuan. Saya menyedari perkara ini dan sebab itu Wakil-Wakil Rakyat juga telah membuat permohonan tambahan kepada peruntukan awal yang disediakan oleh kerajaan dan dalam usaha mereka untuk membantu rakyat yang terjejas. Jadi, hasil daripada keadaan yang sedemikian, mungkin sesuai Yang Berhormat Tuan Speaker untuk saya menyatakan bahawa kita telah bersetuju untuk memperuntukkan tambahan sebanyak RM150,000.00 kepada semua 56 Ahli Yang Berhormat dan tambahan juga kita berikan sebanyak RM100,000.00 untuk disalurkan kepada 27 orang Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN. Jadi, saya berharap peruntukan tambahan ini dapat digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan rakyat di kawasan-kawasan DUN Yang Berhormat sekalian. Terima kasih.

Speaker

Ya, Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Tuan Speaker. Tahniah kepada kerajaan negeri kerana kedudukan kewangan yang stabil. Kedudukan ekonomi sekarang jauh lebih tinggi dari kos pembelian vaksin. Bagi mengelakkan kerugian ekonomi semakin meluas, bukankah kita perlu beli vaksin Sinovac atau AZ atau beli dari Singapore? Demi pemulihan ekonomi, adakah dana reserved akan diguna untuk membantu para peniaga yang amat susah sekarang terutamanya SMI dan pembelian vaksin yang semakin banyak? Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan itu. Dari awal sewaktu kerajaan merancang Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk tujuan pembelian vaksin. Pertama, atas kesedaran bahawa kadar vaksinasi di Johor adalah rendah. Bukan kerana kerajaan tidak menyusun gerak kerja, bukan kerana kerajaan tidak membuat unjuran keperluan vaksinasi tetapi bekalan. Kerana ini semua adalah di bawah bidang kuasa di peringkat Kementerian. Maka dalam keadaan kita menerima vaksin yang tidak menentu, hanya pada hujung bulan Julai sahaja barulah vaksin diterima sebagaimana jumlah yang kita sasarkan. Jadi, pusat-pusat pemberian vaksin kita yang mampu menyuntik sehingga 70,000 sehari tetapi bekalan vaksin yang masih berkurangan, maka usaha kerajaan ialah dengan membeli vaksin dan perkara ini pun telah dibuat di mana kerajaan negeri melalui J-Biotech Corporation dengan kerjasama KPJ, kita telah pun bersetuju supaya pembelian vaksin dengan pihak Pharmaniaga bagi jenis vaksin Sinovac telah pun bermula sejak hujung bulan Julai.

Dan, apabila vaksin itu kita beli dan kita sasarkan adalah untuk pihak industri, saya telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak industri di mana mereka telah menyatakan untuk membeli vaksin sekiranya mereka boleh beroperasi. Jadi, atas dasar itu kerajaan merasakan bahawa pembelian vaksin dapat membantu industri-industri termasuklah pihak industri kecil dan sederhana juga akan menerima manfaat daripada vaksin yang dibekalkan melalui secara pembelian.

Selain daripada kita membeli vaksin, kita juga tahu akan peri pentingnya kita menguruskan pandemik ini dengan sebaik-baik mungkin, maka test kit juga kita bekalkan. Kerajaan negeri telah pun membeli sebanyak 200,000 test kit RTK Antigen sama ada Saliva ataupun melalui swab dan dibekalkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri supaya lebih banyak lagi testing ataupun ujian dibuat di lapangan. PBT juga turut membeli test kit-test kit untuk dibekalkan. Jadi, ini adalah usaha-usaha kerajaan atas kesedaran betapa pentingnya kita beralih kepada fasa pemulihan seberapa segera yang mungkin supaya kita dapat kembali semula menggerakkan ekonomi dan membantu golongan isi rumah yang terkesan oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Tanjung Surat, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 7.

Apakah status terkini pelaksanaan Projek Perumahan Nelayan di Kg Punggai, Pengerang oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Tanjung Surat, status awal kelulusan Kebenaran Merancang penuh bagi projek ini telah diperolehi pada 23 Julai 2019. Walau bagaimanapun, Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang telah memajukan surat kepada KEJORA pada 22 Disember 2019 memaklumkan terdapat pertindihan hak milik di atas sebahagian tapak projek yang telah dipersetujui untuk dikurniakan kepada KEJORA.

Rentetan daripada itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara pihak KEJORA, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak kerajaan negeri bagi menentukan hala tuju pembangunan projek itu. Berdasarkan perbincangan yang telah diadakan semua pihak sepakat untuk meneruskan projek ini dengan membangunkan baki tanah yang berkeluasan lebih kurang 19 ekar. Ini semua dibuat adalah dalam urusan untuk merealisasikan hajat Yang Berhormat Tanjung Surat untuk rakyat setempat. Bagi tujuan tersebut, sebahagian perkara telah dinilai semula khususnya yang melibatkan peruntukan dan skop projek.

Mesyuarat berkaitan telah bersetuju agar pembangunan unit rumah dibangunkan terhad kepada 64 unit rumah sahaja, jenis berkembar setingkat dengan mengambil kira 63 penama ataupun nelayan yang telah dinamakan terdahulu di mana kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh KPLB dengan anggaran kos sekitar RM21 juta.

Bagi maksud tersebut, kelulusan kenaikan kos siling projek dan juga perubahan skop telah diluluskan oleh EPU melalui suratnya pada 13 Julai 2021. Kertas kerja bagi tujuan pelantikan perunding telah disediakan dan dijangkakan akan diangkat kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Perunding pada 1 Ogos 2021. Dan, pada masa yang sama pihak KEJORA juga sedang dalam usaha untuk menyelesaikan isu pemilikan pengurniaan tanah sebagaimana Ringkasan Mesyuarat 2147/2017 telah bersetuju mengurniakan tanah PTD 7204, PTD 7205 dan PTD 9379 kepada KEJORA dan beberapa syarat keputusan lain.

Perbincangan bersama PTG Johor pada 4 April 2021 telah mengesyorkan untuk pihak KEJORA membawa kertas mesyuarat melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk mengesyorkan permohonan pindaan kelulusan terhadap Keputusan MMKN yang terdahulu dan kemudiannya dipanjangkan kepada pihak PTG. Kertas kerja berkaitan telah dibentangkan dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat ALP KEJORA Bil. 2/2021 pada 8 April 2021. Berdasarkan keputusan tersebut pihak KEJORA telah memanjangkan permohonan bagi pindaan kelulusan kepada pihak PTG pada 3 Mei 2021 untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih.

Speaker

Ya, Tanjung Surat, jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih EXCO atas jawapan yang diberi. Soalan tambahan saya, memandangkan projek ini agak lewat, sudah tu pula tanah yang, tapak tanah ada pasir yang telah dimiliki oleh orang lain. Jadi, saya ingin tahulah komitmen kerajaan selanjutnya untuk memastikan projek ini dapat dijalankan dengan selancar-lancarnya. Terima kasih.

Speaker

Jemput.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, sepertimana saya maklumkan hajat kerajaan negeri melalui KEJORA adalah untuk menjayakan program, projek ini. insya-Allah setelah semua perkara-perkara yang berkaitan dengan hak milik tanah, premium dan kelulusan PBT telah dapat, insya-Allah ianya akan diteruskan agar hajat yang baik ini akan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Sekian terima kasih.

Speaker

Seterusnya Yang Berhormat Maharani. Jemput.

Yang Berhormat Tuan Speaker soalan saya nombor 8.

Sila nyatakan kadar vaksinasi para guru seluruh Johor dan persediaan kerajaan negeri bagi membantu pihak sekolah, guru, kakitangan sokongan sekolah, murid dan ibu bapa menghadapi pembukaan sekolah pada 1 September 2021 bagi memastikan keselamatan semua.

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan & Budaya · Puteri Wangsa

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli Sidang Dewan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Maharani. Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan negeri yang komited bagi untuk warga sekolah terutama

guru-guru telah divaksin bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berjalan dengan lancar selain keselamatan terjamin.

Merujuk kepada kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 15 Ogos 2021 sesi pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula pada 03 Oktober 2021. Pemakluman awal akan dibuat sekiranya terdapat keperluan perubahan tarikh hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Sehingga 19 Ogos 2021, kutipan data oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor iaitu bagi guru-guru, anggota kumpulan pelaksana dan juga staf sokongan operasi yang telah divaksinkan adalah seperti berikut :

Yang pertama golongan guru. Bilangan keseluruhan guru di negeri Johor, 48,008 orang. Yang dah divaksin dos pertama sejumlah 45,448 orang iaitu 96.26%. Bagi dos yang kedua 23,746 orang dan peratusnya 50.29%.

Bagi anggota Kumpulan pelaksana iaitu termasuklah pembantu pejabat, kerani dan sebagainya. Bilangan 7,152 orang. Vaksin dos pertama 6,539 iaitu 91.43% dan bagi dos yang kedua 2,816 sebanyak 39.37%.

Dan Staf sokongan operasi seramai 12,919. Vaksin dos pertama 9,236 iaitu 71.49% dan dos kedua 7,030 orang iaitu 54.42%.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk memastikan program vaksinasi mencapai 100% melibatkan warga sekolah serta ibu bapa penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti. Terima kasih.

Speaker

Skudai, jemput

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Yang Berhormat Tuan Speaker, berkenaan dengan vaksinasi, selalunya masalah yang berlaku adalah berkenaan dengan temu janji dan juga apa yang dijanjikan ataupun target sasaran kadangkala ada yang tercicir. Selalunya, berlakunya masalah ini akan, rakyat akan dinasihatkan untuk, apa itu, membuat aduan ataupun berurusan melalui MySejahtera tapi proses lambat dan kadang kala tiada respons. Jadi untuk memastikan bahawa golongan guru dan apa tu, staf-staf, kakitangan sokongan sekolah mendapat perlindungan yang sepenuhnya. Adakah kerajaan telah menyediakan satu saluran selain daripada MySejahtera bagi mereka yang tercicir, cikgu-cikgu ataupun staf-staf sokongan sekolah yang tercicir dalam program vaksinasi ini supaya mereka mendapat vaksin sebelum pembukaan sekolah?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan & Budaya · Puteri Wangsa

Terima kasih soalan tambahan Yang Berhormat. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebenarnya kita bukan mengharapkan peringkat untuk gunakan apps MySejahtera sahaja. Cikgu-cikgu ini diberikan priority selalunya kita mengadakan perbincangan dan juga mesyuarat antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan juga Jabatan Kesihatan Negeri. Dan kita memberi priority kepada guru-guru dan juga kakitangan sekolah untuk memastikan pencapaian ini mencapai target yang kita harapkan. Dan saya sendiri selaku EXCO yang bertanggungjawab sentiasa memantau angka-angka daripada minggu ke minggu dan baru ini pun saya call beberapa orang District Officer dengan izin iaitu Pegawai Daerah untuk bantu memastikan pencapaian ini jauh lebih baik dan dibandingkan peringkat nasional kita tidaklah terlalu kata orang ini tertinggal ke belakang. Kita berada di tengah-tengah di antara senarai yang dapat keutamaan vaksin. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Ya Maharani

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih kepada EXCO yang memberikan jawapan. Jika sekiranya kadar vaksinasi sektor pendidikan selain daripada yang disebutkan tadi iaitu para guru dan juga staf sokongan. Sekiranya, maksud saya, termasuk pelajar-pelajar di semua peringkat belum mencapai 70% ke 80% yang mendapat vaksin adakah kerajaan negeri dengan kerjasama JKJAV dan juga CITS peringkat kerajaan persekutuan akan melaksanakan vaksinasi terus ke sekolah dan memudahkan vaksinasi secara walk in dan juga adakah proses dan SOP ini terpakai untuk semua guru-guru sekolah agama dan pelajar serta Sekolah Agama Negeri Johor, sekian.

Speaker

Jemput EXCO.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan & Budaya · Puteri Wangsa

Setakat ini kita tiada perancangan untuk kita mengadakan vaksin program khas ke sekolah-sekolah sebab apa kita masih ada masa. Kalau tengok peratusan yang dos pertama kita dah mencapai 96.26% dan kebanyakan vaksin ini dalam masa tempoh 2 minggu. Jadi kalau kita bandingkan dos pertama dengan dos kedua memang nampak julat yang berbeza tapi insya-Allah. Kita faham majoriti kita punya vaksin iaitu Pfizer dan Sinovac dalam tempoh 2 minggu dan kami, dalam perancangan kami, kami amat yakin 1st week bulan depan dengan izin kita akan mencapai sasaran hampir 100%. Cuma di sini kita ada masalah sedikit. Ada golongan juga, saya ingin berterus terang, ada golongan pendidik yang tidak, apa ini, menolak cadangan untuk vaksin seramai 700 lebih dan kita di peringkat JPN, kita mengambil inisiatif yang secara berhemah, kita panggil dan kita kaunseling sebahagiannya dah bermula kita panggil secara individu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan kita minta bantuan daripada Jabatan Agama, pegawai-pegawai agama untuk membantu memberi penerangan kaunseling supaya akhirnya mereka akan turut serta dalam program vaksin kita. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Seterusnya yang Berhormat Machap. Jemput

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan nombor 9.

Nyatakan punca terdapat peningkatan ketara kadar kes COVID-19 yang berlaku di negeri Johor sejak kebelakangan ini?

Speaker

Stulang jemput

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 10.

Berapakah kapasiti ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 di seluruh negeri Johor?

Speaker

Jemput YB EXCO.

Tuan Vidyananthan a/l RamanadhanMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Kahang

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat Machap dan Stulang secara bersekali.

Yang Berhormat Speaker, negeri Johor mendahului perang pandemik COVID-19 dengan kes pertama dilaporkan pada 25 Januari 2020 yang melibatkan warga asing daripada Wuhan, negara China. Setelah setahun lebih kita memerangi pandemik ini, kita masih lagi gigih menghadapi cabaran COVID-19 ini dengan situasi naik turun kejadian kes yang dilaporkan. Sekarang ini kita berada di dalam suasana peningkatan kes COVID-19 secara global. Sehingga 19 Ogos 2020 sebanyak 210.2 juta kes COVID-19 dengan 4.4 juta

kematian dilaporkan di seluruh dunia. Malaysia juga di dalam situasi peningkatan kes yang serius, di mana Malaysia menduduki tangga ke 25 negara tertinggi melaporkan kes dengan jumlah kes sebanyak 1.49 juta sehingga 19 Ogos 2021 dan 13,480 kematian akibat COVID-19. Johor pula melaporkan jumlah sebanyak 116,667 kes dengan 1,492 kematian setakat 19 Ogos 2021.

Dengan kadar insiden sebanyak 3,077 per 100,000 penduduk, negeri Johor merupakan negeri ketiga tertinggi melaporkan kes COVID-19 di Malaysia selepas negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Dari bilangan kes tersebut daerah Johor Bahru merupakan penyumbang utama kes sebanyak 43% diikuti daerah Muar sebanyak 12% dan daerah Kulai 11%. Lebih dari 95% kes COVID-19 di negeri Johor dilaporkan semasa gelombang ke 3 dan penyumbang utama adalah dari pihak industri, tahanan dan kluster komuniti. Sehingga 19 Ogos 2020, bilangan kluster aktif dan kebolehjangkitan di negeri Johor adalah sebanyak 212 kluster. Di mana daripada jumlah tersebut, 142 kluster atau 66% adalah penularan dalam industri, 24 kluster atau 12% di dalam komuniti, 32 kluster atau 16% di dalam institusi, 7 kluster atau 3% di pasar raya, 5 kluster ataupun 2% kluster tahanan, dan 2 kluster atau 1% kluster import. Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijangka akan dapat mengurangkan penularan kes di negeri Johor.

Yang Berhormat Speaker, apabila seseorang dikenal pasti sebagai positif COVID-19, ia perlu menjalani penilaian status kesihatan, sama ada secara maya atau virtual atau secara fizikal di Pusat Penilaian COVID-19 atau dipanggil CAC iaitu COVID-19 Assessment Center. Penilaian kesihatan akan dibuat bagi menentukan kategori pesakit. Pesakit yang berada di dalam kategori 1 atau 2 akan dirujuk ke pusat kuarantin dan rawatan atau dipanggil sebagai PKRC, untuk menjalani isolasi dan rawatan. Manakala bagi kategori 3, 4 dan 5 pula akan dirujuk ke hospital. Saya ingin terangkan apakah itu definisi kategori. Kalau kategori 1, ialah kes-kes yang tiada gejala. Kategori 2, mereka mempunyai gejala ringan. Kategori 3, mereka yang ada jangkitan paru-paru. Kategori 4, jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen. Kategori 5, kritikal, organ rosak dan memerlukan ventilator. Ini lah yang dipanggil kategori 1 hingga 5.

Pada masa ini, semua pesakit positif COVID-19 perlu di isolasi tanpa mengira umur, termasuk kanak-kanak atau status vaksinasi memandangkan pesakit masih di dalam tempoh kebolehjangkitan. Bagi mereka yang menjalani Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah atau Home Surveillance Order, Jabatan Kesihatan menjalankan pemantauan harian iaitu home monitoring bagi mengetahui status kesihatan individu tersebut. Trend penggunaan katil hospital kerajaan dari Disember 2020 hingga 19 Ogos 2021, menunjukkan pertambahan bilangan hospital yang terlibat dan katil khusus COVID-19 berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Terkini, jumlah katil khusus COVID-19 adalah sebanyak 46% daripada jumlah keseluruhan katil hospital yang ada di negeri Johor. Ia sudah 46%. Pada 19 Ogos 2021, kadar penggunaan katil, wad di hospital kerajaan adalah 100.4.5% manakala kadar penggunaan katil ICU COVID-19 adalah 94.4%. Bagi hospital swasta di negeri Johor terdapat 15 hospital yang turut sama membantu dalam pengurusan COVID-19 dengan bilangan katil khusus COVID-19 sebanyak 123 katil wad biasa dan 14 katil ICU. Kes-kes COVID-19, kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Pada asalnya, perkhidmatan rawatan rapi di 6 buah hospital berpakar di negeri Johor hanya menyediakan sebanyak 85 buah katil ICU tetapi selaras dengan peningkatan kes yang memerlukan rawatan di ICU kapasiti bilangan katil di ICU ini telah dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui ubah suai ruang tertentu di hospital dengan tambahan 75 katil ICU, menjadikan jumlah keseluruhan 160 buah katil ICU dan daripada itu 108 buah katil ICU dikhususkan bagi rawatan kes COVID-19 termasuk 4 katil ICU di Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di HSA, JB.

Selain daripada 108 katil ICU khusus COVID-19 di hospital kerajaan, terdapat 14 katil ICU bagi pesakit COVID-19 yang memilih untuk dirawat di 15 buah hospital swasta dalam negeri Johor. Terima kasih.

Terima kasih kepada EXCO yang telah memberikan jawapan kepada persoalan yang telah diberikan. Sekarang ini kita dapat lihat bahawa peningkatan kes COVID ini sering dikaitkan dengan kluster kilang ataupun industri. Jadi mohon penjelasan kenapa peningkatan terhadap kes COVID di kilang atau industri ini boleh berlaku dan mohon apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tersebut? Terima kasih.

Speaker

Ya, jemput, YB EXCO.

Tuan Vidyananthan a/l RamanadhanMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Kahang

Terima kasih Yang Berhormat Machap bagi soalan tambahan. Yang Berhormat Speaker, kebelakangan ini seperti yang saya katakan tadi terdapat peningkatan kes secara mendadak yang dilaporkan di negeri Johor. Kenaikan ini selalunya akan menyusul peningkatan kes di mana-mana negeri lain di Malaysia. Gelombang kedua yang berlaku adalah ekoran daripada pengimportan kes daripada negeri Selangor dan gelombang ketiga susulan peningkatan kes daripada Sabah dan juga Selangor dan terkini kejadian puncak kedua yang tinggi semasa gelombang ketiga COVID-19 berkait rapat dengan peningkatan kes di The Gateway Klang Valley. Dengan kemasukan kes COVID-19 ke negeri ini beberapa faktor dalaman mempermudahkan penularan di kalangan masyarakat tempatan termasuk penularan di kalangan sektor industri di mana 142 kluster dilaporkan, kluster industri dilaporkan masih lagi aktif.

Semenjak bulan Jun, pihak Jabatan Kesihatan mendapati pekerja industri yang merentas negeri ke lokasi zon merah membawa balik virus COVID-19 dan seterusnya menularkan jangkitan kepada rakan sekerja dan rakan serumah di kalangan pekerja yang tinggal di asrama pekerja. Sebagai negeri berlandaskan industri, infrastruktur industri sendiri menyumbang kepada kerentanan terhadap penularan penyakit berjangkit ini. Penempatan pekerja-pekerja industri khususnya warganegara asing berada di dalam persekitaran yang sempit dan sesak dan juga bas pekerja merupakan faktor utama yang perlu kita tangani bersama. Penganalisisan trend kejadian COVID-19 di negeri Johor juga mendapati kenaikan kes berkait rapat dengan sesuatu peristiwa atau event sensitif. Kejadian kluster komuniti banyak disebabkan aktiviti ziarah menziarahi semasa musim perayaan atau upacara pengebumian. Aktiviti sosial juga masih berlaku walaupun di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan. Ini menggambarkan sikap masyarakat yang masih complacent terhadap langkah-langkah pencegahan penularan, menyumbang secara terus kepada peningkatan kes di negeri Johor. Selain itu, terdapat juga kehadiran variant of concern di negeri Johor dan juga menyebabkan penularan yang pantas di kalangan warga industri.

Saya ingin maklumkan Dewan yang mulia ini, terdapat kes VOC melibatkan varian Delta di mana sehingga 19 Ogos 2021 sebanyak 16 kes dilaporkan di negeri Johor. Ini melibatkan kawasan seperti Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian. Walau bagaimanapun, bilangan VOC yang dilaporkan adalah kecil dan masih lagi terkawal.

Yang Berhormat Speaker, kita sedia maklum bahawa kes COVID di negeri Johor antara puncanya adalah kluster industri. Jadi, kerajaan negeri Johor telah pun mengambil berbagai inisiatif, kita cukup pro-aktif untuk mempastikan bahawa kita buat yang terbaik untuk mempastikan bahawa kes-kes COVID khususnya di kalangan industri ini dapat dikurangkan. Dan, kalau kita lihat benda ini, despair headed oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri di mana beliau sendiri telah pun membuat lawatan ke beberapa kilang di dalam sektor industri untuk berjumpa dengan stake holders dan mencari jalan bagaimana boleh kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan pihak industri untuk kita mengurangkan kes-kes industri.

Kita mengadakan engagement dengan mereka supaya kita dapat membuat, menimbulkan keadaan win-win situation kita tidak mahu industri menganggap kerajaan menghukum industri hanya kerana kes-kes dan sebagainya. Kita mencari penyelesaian bagaimana kita

boleh bekerjasama untuk mengurangkan kes-kes di sini maka antara inisiatif yang telah pun kita lakukan ialah oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor ialah Johor Industrial Preparedness Plan, JIPP dengan mengambil kira inisiatif safe at work untuk sektor perkilangan dan industri berkaitan yang dibuat oleh pihak MITI. Dan dengan cara ini, ia akan mengaktifkan semula ekonomi negeri Johor, memastikan kesihatan ekonomi, kesihatan ekonomi dan rakyat Johor sentiasa menjadi keutamaan, memastikan majikan mengutamakan konsep tanggung jawab bersama, collective responsibility di dalam mengerak dan memperkasakan warga kerja organisasi untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan agar bebas COVID-19. Memantapkan sistem kesiapsiagaan dan respons menangani wabak COVID-19 ini dan mengukuhkan kelestarian program persekitaran kerja yang selamat. Kerajaan negeri mengambil pendekatan JIPP ini bagi menyediakan industri untuk terus bekerja dalam suasana pandemik COVID-19.

Program JIPP ini menekankan tindakan yang perlu diambil oleh setiap industri melalui pemerkasaan majikan dan warga kerja untuk memainkan peranan yang lebih giat sebagai frontliners ekonomi. Program ini akan di compliment dengan tindakan penguatkuasaan oleh agensi-agensi berkaitan. Dan, adalah diharapkan dengan usaha industri ini akan dapat mempercepatkan pensijilan inisiatif safe at work yang disarankan oleh pihak MITI. Di bawah program ini mana-mana kilang atau institusi yang melaporkan kes positif akan dibuat penutupan sekurang-kurangnya selama 24 jam. Penutupan dibuat di bawah Akta 342 bagi membenarkan pasukan kesihatan menjalankan siasatan terperinci, mengenal pasti contact, mengenal pasti kawasan berisiko dan seterusnya menjalankan aktiviti disinfeksi dan dikontaminasi.

Berdasarkan penilaian risiko Pejabat Kesihatan Daerah akan menentukan sama ada penutupan selanjutnya diperlukan atau tidak terhadap fasiliti atau sebahagian fasiliti daripada industri tersebut. Beberapa siri pertemuan di antara wakil Jabatan Kesihatan dan kilang akan diadakan bagi membantu pihak kilang mewujudkan rangkaian kesinambungan perniagaan semasa wabak. Pekerja kilang akan disiasat untuk memastikan pendedahan terhadap jangkitan dan mereka yang dianggap contact rapat akan menjalani kuarantin selama 10 hari dengan 2 kali ujian akan dijalankan. Aktiviti pengurusan risiko dilaksanakan di kilang bagi memastikan persekitaran kilang selamat sebelum dibuka semula. Di antara aktiviti penambahbaikan SOP yang perlu diambil oleh pihak kilang ialah melakukan give keeping bagi setiap pekerja, bagi pemakluman gejala dan risiko, card access mereka akan disekat dan pekerja tersebut akan diarahkan untuk menjalani saringan, di kuarantin dan seterusnya pemakluman kepada PKD. SOP di lokasi umum seperti surau dan kantin di tempat kerja juga akan ditentukan. Amaran dan peringatan secara siar raya dan poster oleh pihak majikan dan boleh dilihat dan didengari pada setiap sudut pekerja juga perlu dilakukan oleh pihak majikan dan program vaksinasi pekerja kilang disegerakan bagi mengurangkan risiko penularan di bawah Program Pre-cast. Selain itu, pihak Pejabat Kesihatan juga perlu berusaha memastikan ahli keluarga mereka juga diberikan vaksinasi secepat mungkin. Pemantauan harian akan dijalankan oleh PKD ke atas operasi kilang bagi memastikan pemantauan SOP dikekalkan. Terima kasih.

Speaker

Ok, masa telah tamat 10.32 pagi. Jadi, saya tutup untuk soalan lisan ini. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan terhadap Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor akan dijalankan selama 4 hari mulai hari ini, 22 Ogos hingga 25 Ogos 2021. Pihak kerajaan akan menggulung perbahasan pada 25 Ogos 2021. Suka saya mengingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Bilangan 45.

Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan-kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi. Untuk pencadang rundingan, masa yang diberikan adalah 20 minit, penyokong diberi masa 20 minit, Ketua Pembangkang diberi masa 20 minit, manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain diberi masa 10 minit sahaja ya. Bagi membolehkan lebih ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya memohon kerjasama semua agar dapat mematuhi masa yang diberikan ya, masa tu terlalu padat sangat, saya memang minta kerjasama daripada semua agar dapat mematuhi masa yang ditetapkan. Dijemput, Yang Berhormat Sri Medan.

Bismillahirahmaanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kesempatan yang diberi oleh Yang Berhormat Tuan Speaker untuk saya selaku pencadang pada pagi ini bagi menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pagi ini saya dimaklumkan ada beberapa rakan kita yang tidak dibenarkan untuk masuk ke Dewan. Saya difahamkan mereka telah dijalankan RTK sebelum kita masuk ke Dewan termasuk juga di kalangan rakan-rakan di pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Memang kita rasa sedih dengan apa yang berlaku dan kita doa sama-sama semoga rakan-rakan Ahli Yang Berhormat diberi kesihatan yang baik. Alhamdulillah, kesedihan yang kita lalui mungkin sekejap sahaja. Tadi bila Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bila menjawab soalan lisan, saya macam tak percaya juga. Tapi, saya bayangkan yang menepuk meja ni sebelah kerajaan aje. Bila Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi mengumumkan peruntukan tambahan RM150,000.00 untuk setiap Ahli Dewan Negeri Johor. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. (Dewan bertepuk). Saya tengok DUN Skudai tak ada tepuk meja tadi, tak suka ke, dengan DUN Paloh rakan saya. Saya harap dengan peruntukan tambahan daripada Yang Amat Berhormat...

Dia terkejut tak habis lagi. Terkejut tak habis lagi.

Terkejut (ketawa). Kita harap dengan peruntukan tambahan yang diumumkan sebentar tadi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor...

Speaker

Itu Ahli Yang Berhormat tu bukan 56, 57 Ahli dia.

Speaker

Speaker pun Ahli Yang Berhormat juga. (Dewan ketawa).

Saya rasa Speaker lebih pakar untuk mohon peruntukan tambahan dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya, seperti yang saya sebut tadi, saya merafak sembah menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang mana baginda Tuanku telah menzahirkan kegusaran baginda dan kebimbangan baginda tentang situasi terkini negeri Johor dalam menghadapi wabak COVID-19. Tiada yang perlu kita nafikan Yang Berhormat Speaker. Tiada yang perlu kita sembunyikan apa yang berlaku pada hari ini. Hari ini, kalau kata kita lihat rakyat adalah watak utama yang cukup-cukup terkesan dek wabak COVID-19. Watak yang perlu kita selamatkan, yang perlu kita sama-sama lihat dan kita renung bagaimana untuk menyelamatkan mereka. 3,926,600 jumlah rakyat negeri Johor yang memerlukan sentuhan ajaib atau sentuhan magic daripada kita semua.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sememangnya ujian ini amat besar. Satu-satunya ujian yang belum pernah kita lalui. Walaupun dunia pernah mengalami beberapa wabak seperti Smallpox atau Spanish Flu, hari ini kita diuji dengan wabak COVID-19 yang telah meragut jutaan nyawa seluruh dunia. Ada yang hilang keluarga, ada yang hilang rakan, ada yang hilang pasangan hidup, ada yang hilang kebergantungan hidup dan macam-macam lagi. Apa yang boleh saya kongsikan, berdasarkan laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor, setakat ini sahaja di negeri Johor kita telah mencatatkan sejumlah 1,529 kes kematian, tarikh semalam 21 Ogos. Dan, kalau kita lihat di seluruh negara pada tarikh 21 Ogos seramai 13,936 kes kematian.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan jumlah yang sebegini ramai, sesiapa pun, tak dia tak kita, akan merasa panik. Mereka akan rasa tidak selamat. Sesiapa pun akan cepat menuding jari mencari salah orang lain. Termasuklah mencari salah mereka yang mentadbir. Menjadi lumrah biasa sebagai seorang manusia, Yang Berhormat Tuan Speaker, bila mereka mula tertekan, mereka akan mula mempertikaikan apa juga perkara walaupun perkara itu baik pada pandangan pihak kerajaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sekali lagi bersidang dalam keadaan yang luar daripada kebiasaan. Sebelum ini saya ingat kalau kita berucap tak perlu pakai face mask. YB Semerah eh, tak perlu face mask, tak perlu skrin kiri kanan, hampir terlanggar tadi Yang Berhormat daripada Tanjung Surat. Kali inilah di luar kebiasaan yang tak pernah kita lalui. Kita bersidang dalam keadaan yang tidak sama seperti dahulu.

Saya tahu banyak perkara yang hendak kita bincangkan, banyak perkara yang ingin kita debatkan, namun saya fikir eloklah bagi saya mulakan perbahasan saya dengan menyatakan beberapa realiti untuk difikirkan bersama. Pertama, keadaan pandemik di Malaysia yang masih belum reda, kadar vaksinasi Malaysia meskipun lebih cepat dan lebih banyak daripada negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Singapura, ianya hanya meliputi 50% jumlah keseluruhan populasi dewasa negara sehingga kini. Perkara yang kedua, keadaan ekonomi negara, meskipun dianggarkan mengembang pada kadar 3-4% pada tahun ini, ia masih lagi berhadapan dengan ketidakyakinan pelabur. Dan, kadar pengangguran pada 4.5% iaitu seramai 724,000 orang. KDNK untuk PKS juga mencatatkan penurunan pada kadar -7.3% lebih rendah daripada KDNK peringkat nasional.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dan perkara yang ketiga situasi politik negara sejak Pilihan Raya Umum yang ke-14 lalu yang sentiasa tidak menentu dan berubah-ubah menyebabkan setiap wacana terhadap dasar, polisi dan hal ehwal rakyat dipolitikkan dan dilihat dari kaca mata politik.

Yang Berhormat Tuan Speaker, menyedari realiti-realiti di atas, eloklah saya mendasari ucapan saya dengan mengakui bahawa pengurusan pandemik, pemulihan ekonomi dan situasi politik semasa pada waktu dan saat ini tidaklah harus diasing-asingkan. Ketiga-tiga realiti ini di atas tidak harus di laksana berasingan dengan anggapan bahawa ekonomi itu akan pulih dengan sendiri tanpa bergantung kepada pemulihan pandemik. Ataupun politik pula tidak akan mempengaruhi momentum kita menguruskan pandemik dan memulihkan ekonomi negeri Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kesemua ini saling berkait rapat malah menjadi punca kepada kejayaan dan keberkesanan usaha yang dijalankan dalam kontak satu sama lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita perlu akui mengurus pandemik tidaklah mudah, memulihkan ekonomi pula memerlukan sumber dan kebijaksanaan pakar. Semua itu boleh dirancang, boleh diurus dan boleh dilaksanakan. Namun, untuk melakukan semua itu dalam konteks politik yang seperti sekarang ianya memerlukan satu pembawaan politik yang lebih praktikal, yang lebih mementingkan kesan-kesan sebenar kepada rakyat dan bukan kepada cita-cita golongan dan institusi tertentu. Ego manusia memang susah untuk kita jinakkan. Ego seorang yang bernama manusia untuk mengejar kuasa pula lebih sukar untuk kita

rasionalkan, apatah lagi pada waktu dan ketika ini. Oleh itu, Yang Berhormat Tuan Speaker, negeri Johor mahu atau tidak harus melihat kepada pembawaan politiknya terlebih dahulu. Kita harus menyatukan hati dan menyatukan niat semua ahli politik negeri Johor. Kita harus memperlihatkan kepada mereka yang di luar sana bahawa Wakil-Wakil Rakyat di Johor ini boleh menyesuaikan cita-cita politik pembawaan dan ideologi politik dengan situasi semasa.

Yang Berhormat Tuan Speaker, inilah yang kita amalkan selama ini. Inilah cara Johor. Rakan-rakan Ahli Yang Berhormat pun tahu, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni, kita tidak pernah menganggap blok sebelah sana sebagai musuh kita. Tanpa kesatuan hati kesemua Wakil Rakyat di negeri Johor sama ada dari blok kerajaan atau pun blok pembangkang mana mungkin rakyat akan menghormati kita lagi. Percayalah rakyat akan menjauhi kita dan akhirnya bila rakyat mula bosan dengan tingkah laku kita, mereka tidak akan mencari kita lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tidak mustahil situasi ini boleh menjadi lebih teruk lagi, bila mana situasi demokrasi tidak lagi dipercayai dan akan mula wujud watak-watak populis lain untuk mengancam demokrasi. Pada ketika itu, peranan Wakil Rakyat akan mula diperkecilkan dan hak rakyat untuk menentukan wakilnya dalam Dewan yang mulia ini akan diperlekehkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, apa makna bila Wakil Rakyat mula dipandang serong. Apa makna institusi demokrasi tidak lagi dipercayai maka pada ketika itulah akan berlaku seluruh sistem governance tidak dapat berfungsi sepenuhnya. Krisis kepercayaan kepada cabang eksekutif dan legislatif akan wujud. Semua ini pastinya akan memberi kesan kepada usaha kita mengurus pandemik dan juga pemulihan ekonomi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, secara sedar atau tidak, Johor sebenarnya telah mendahului kerajaan persekutuan dalam agenda reformasi institusi demokrasi. Kita sudah lama memberi layanan yang cukup istimewa kepada rakan-rakan di sebelah sana. Rakan-rakan perlu akui. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebagai ketua kerajaan telah menyalurkan peruntukan kewangan yang tidak pernah dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini. Inilah cara kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Hasni bin Mohammad.

Speaker

Habis yang sebelum ini tak bagus la eh Yang Berhormat?

Sebelum ini dia bagi pada kerajaan aje kot. Kepimpinan yang terbuka, sentiasa membuka ruang untuk berdialog walaupun kita berlainan fahaman politik. Tidak boleh dinafikan. Saya tahu di kalangan rakan-rakan blok pembangkang pun hari ini boleh sentiasa dibuka ruang untuk berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.

Pokoknya kita percaya jika demokrasi dan institusi ingin terus dilihat sebagai penting, serius dan terkehadapan, kita harus mendukung pembawaan politik yang lebih praktikal. Orang cakap Johor is always number one. Saya yakin Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam merekayasa erti politik yang segar, Johor telah lama mendahului mereka yang di luar sana, tidak perlu kita pertikaikan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, secara umumnya pengurusan pandemik di negeri Johor tidaklah seteruk yang dianggap oleh setengah pihak seperti yang diwar-warkan oleh sebahagian netizen di luar. Saya ingin menjelaskan beberapa perkara di sini, pertamanya, menyentuh soal vaksin, tadi pun ada disebut oleh rakan-rakan EXCO dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Bekalan vaksin adalah dalam pertimbangan dan pengurusan kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri sentiasa tanpa lelah meminta kerajaan persekutuan melalui COVID-19 Immunization Task Force (CITF) pusat untuk memberikan bekalan vaksin ke Johor dengan tepat dan menepati jadual yang ditetapkan. Kedua, bidang kuasa kesihatan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri hanya memainkan peranan complimentary atau melengkapi sahaja. Namun begitu, kerajaan

negeri Johor menyedari kita harus melakukan beberapa intervensi kepada usaha pengurusan akademik, pandemik, maaf Yang Berhormat Tuan Speaker. Pengurusan pandemik sama ada dalam aspek sokongan kewangan, sokongan sumber manusia dan nasihat ataupun pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Ketiga, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa berusaha untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam negeri seperti wad ICU dan alat-alat perubatan lain seperti ventilator dan sebagainya. Dan juga, Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang menyiapkan diri untuk memperkasakan kapasiti bagi kehidupan pandemik COVID-19 di mana COVID-19 akan menjadi biasa seakan demam denggi.

Dan yang keempat Yang Berhormat Tuan Speaker, saya yakin Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan sentiasa terbuka untuk berdialog dan menerima pandangan bagi memberikan respons yang terbaik terhadap pengurusan pandemik ini. Tidak adil jika kita katakan bahawa hanya segelintir yang benar-benar faham atau tahu cara untuk menangani pandemik ini. Pendekatan whole of society termasuklah penglibatan Wakil-Wakil Rakyat amat diperlukan dalam kita mengajak masyarakat untuk membudayakan kehidupan norma baru.

Empat perkara ini Yang Berhormat Tuan Speaker, sudah cukup untuk kita simpulkan bahawa pengurusan pandemik ini adalah dinamik. Ia memerlukan penambahbaikan dan kerjasama semua pihak sesuai dengan sifat COVID-19 itu sendiri yang sentiasa berubah-ubah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ingin menegaskan proses pemulihan ekonomi tidak akan dapat berlaku dengan sekelip mata. Kita perlu melihat perbezaan di antara krisis kewangan dan ekonomi yang berlaku sekitar tahun, akhir tahun 80-an dan juga akhir tahun 90-an dengan apa yang berlaku pada hari ini. Jika dahulu, walaupun kita menghadapi krisis, pergerakan manusia itu tidak dibatasi tetapi hari ini pergerakan manusia dihadkan wabak COVID-19. Secara asasnya Yang Berhormat Tuan Speaker, pemulihan ekonomi negeri pastinya akan mengambil kira kehendak rakyat dan merasai denyut nadi setiap rakyat di semua peringkat. Mendengar rintihan mereka yang hilang pekerjaan termasuk juga mereka yang hilang mata pencarian tidak dapat berniaga sepanjang kita melalui PKP 1 hingga PKP 3.0. Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

3 minit Yang Berhormat.

Ya, 3 minit. Yang Berhormat Tuan Speaker, setiap agensi kerajaan dan jabatan kerajaan mempunyai peranan masing-masing tidak terkecuali Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh berperanan untuk mempercepatkan proses pemulihan ini. Contohnya, dengan memudahkan tatacara regulasi perniagaan dari soal memohon lesen hinggalah kepada peraturan-peraturan lain yang dilihat agak menyesakkan rakyat terutama sekali kepada peniaga kecil.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah berusaha untuk memberi yang terbaik kepada rakyat negeri Johor. Kita sedar, setiap Pakej Rangsangan Ekonomi dari 1.0 hingga 3.0 yang berjumlah keseluruhan RM550.95 juta bukanlah penamat atau satu perkara yang pasti dapat memuaskan hati semua pihak. Insya-Allah kerajaan negeri Johor akan sentiasa berusaha memperbaiki serta meningkatkan capaian dan kualiti inisiatif-inisiatif perlindungan sosial negeri Johor. Sama ada ianya dalam bentuk pemberian wang tunai ataupun inisiatif-inisiatif lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, secara tuntasnya. Memulihkan ekonomi tidak akan menjadi satu usaha yang mudah. Kerajaan akui peluang untuk rakyat memajukan diri haruslah berterusan. Negeri Johor dari dulu lagi, terkenal sebagai lubuk kepada peluang rakyat. Sama ada di Johor dan negeri-negeri lain untuk mencari rezeki insya-Allah kita akan kekal menjadi seperti itu.

Yang Berhormat Tuan Speaker, seorang ahli falsafah barat pernah berkata untuk hidup dalam kebebasan manusia harus hidup dalam ketidak ketentuan, perubahan dan mara bahaya. Sudah 64 tahun kita merdeka. Bulan ini pun adalah bulan kemerdekaan, sudah lebih 6 dekad Malaysia hidup dalam kebebasan. Mengikut amatan ahli falsafah barat ini hidup dalam kebebasan ada resmi dan ujiannya yang tersendiri. Pada waktu ini, kita sedang diuji dengan ketidak ketentuan, perubahan dan mara bahaya. Maka kita harus memilih untuk menempuhi tempoh ujian ini dengan praktikal dan rasional.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya mengakhiri perbahasan saya, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Yang Ke 9 dan juga tidak lupa saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Yassin atas jasa dan curah bakti kepada rakyat Malaysia terutamanya kepada rakyat Johor Darul Ta’zim. Saya berharap semoga Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Yassin terus diberi kesihatan yang baik. Insya-Allah dengan berkat permuafakatan semua Ahli-Ahlli Yang Berhormat Negeri Johor akan kembali makmur seperti sebelum ini dan juga Yang Berhormat Speaker, saya berharap dengan permuafakatan ini, Johor akan menjadi negeri yang lebih maju dan kita akan mendepani apa juga rintangan dan masalah secara bersama-sama. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, kerana memberi ruang kepada Sri Medan sebagai pencadang perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sekian wabillahitaufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sri Medan mohon mencadang.

Speaker

Terima kasih Sri Medan, telah menyampaikan ucapannya. Seterusnya saya mempersilakan Parit Raja, 20 minit.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Bismillahirahmanirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhoramt Tuan Speaker, Parit Raja merakamkan penghargaan kerana diberi peluang berbahas untuk menyokong rundingan dalam sidang Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu Parit Raja merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 ini. Patik serta seluruh warga Parit Raja dan seluruh rakyat Johor ingin juga merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofea binti Almarhum Sultan Idris, Permaisuri Johor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 14 Ogos 2021 yang lalu. Patik dan warga Parit Raja serta seluruh rakyat Johor mendoakan semoga Allah melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh keluarga DiRaja akan terus diberkati, dirahmati dalam menaungi negeri Johor dengan makmur dan harmoni.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Darul Ta’zim merupakan ketua negeri dan ketua agama Islam yang sentiasa memastikan negeri ini kekal makmur dan utuh serta payung dan puncak keadilan negeri. Parit Raja menjunjung kasih di atas Titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dalam perenggan yang ke-7 yang telah bertitah kepada semua Ahli Dewan supaya menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula negeri Johor. Sesungguhnya titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mengingatkan patik dan seluruh Ahli Dewan bahawa tugas kerajaan negeri mengurus di saat dan ketika berhadapan dengan pandemik yang bahaya merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang berat dalam berhadapan dengan pelbagai situasi baru. Dan juga memerlukan kaedah penyelesaian yang baru.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam mendepani pandemik COVID-19 ini ialah memastikan rakyat khasnya di negeri Johor dapat mencapai tahap imuniti kelompok yang berupaya melindungi kelompok dari penularan

wabak. Imuniti kelompok ini dapat dicapai melalui liputan imunisasi vaksin dengan kadar yang tinggi dan merata. Taburan data situasi COVID-19 di negara menunjukkan trend peningkatan setiap hari. Begitu juga di negeri Johor. Satu-satunya harapan untuk kembali mengawal wabak adalah melalui program vaksinasi yang cekap ditadbir urus. Melalui imunisasi sahajalah kita dapat melindungi keluarga, individu, masyarakat dan negara.

Patik merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Johor yang telah bertitah kepada golongan belia melalui penglibatan Southern Volunteers dan semua agensi kerajaan yang terlibat yang telah berjaya membantu bangsa Johor bagi pendaftaran suntikan vaksinasi. Melalui laman web rasmi vaksincovid.my negeri Johor telah mencatatkan lebih 2 juta ataupun bersamaan dengan 97.4% populasi dewasa telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksinasi.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan adalah strategi pihak kerajaan untuk memberikan suntikan vaksinasi sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan membentuk imuniti kelompok kepada rakyat tempatan dan juga bukan warganegara yang menetap di negeri ini meliputi beberapa fasa. Melalui badan bertindak imunisasi COVID -19 ataupun CITS sejak Mac 2021, Pusat Pemberian Vaksin telah dibuka di seluruh negeri Johor secara berperingkat. Sehingga kini terdapat 241 buah PPV dengan mensasarkan lebih 70,000 suntikan di seluruh negeri Johor. Dengan keupayaan ini, perancangan unjuran program vaksinasi, diharap sasaran penerima vaksin dos pertama dapat mencapai 80% pada penghujung September. Manakala yang lengkap 2 dos boleh mencapai imuniti kelompok insya-Allah di penghujung Oktober. Kerajaan negeri juga telah mengambil inisiatif pro aktif dengan menambah beberapa Pusat Pemberian Vaksin, namun kerjasama dari penerima-penerima vaksin untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan juga adalah amat perlu dan penting.

Selain itu, komitmen Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam memastikan keseimbangan agihan vaksin kepada setiap negeri di mana dalam keadaan tertentu perubahan jumlah pengagihan vaksin diharap dapat dilakukan dengan mengambil kira jumlah populasi serta nilai ambang di bawah Pelan Pemulihan Negara. Terima kasih atas keprihatinan dan komitmen dari kerajaan pusat yang telah memperuntukkan bekalan vaksin sebanyak 2 juta untuk bulan Ogos 2021 kepada negeri Johor. Perhatian dan usaha ini mestilah menumpukan ke arah pencapaian 80% imuniti kelompok.

Di samping itu, kerajaan negeri diharap dan dicadangkan dapat menyediakan keperluan stok penimbal atau kecemasan bagi kumpulan masyarakat yang tercicir seperti warganegara asing yang tiada dokumen atau tiada majikan serta keperluan vaksin untuk golongan remaja berumur 17 tahun ke bawah. Sebagai contoh warganegara asing bukan industri sama ada dalam bidang pertanian atau buruh pembinaan, persendirian.

Yang Berhormat Tuan Speaker, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi Pelan Pemulihan Negara dalam konteks negeri Johor iaitu memperkasakan fasiliti kesihatan dan pemulihan ekonomi negeri. CAC ataupun COVID-19 Assessment Center telah mula ditubuhkan pada 10 Januari 2021, kini terdapat 11 CAC yang telah diwujudkan di seluruh negeri Johor. CAC kita menjadi tumpuan rakyat dan keperluan utama dalam menangani penularan wabak COVID-19. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menilai akan keperluan dan keutamaan fasiliti di CAC agar dapat memberikan keselesaan bukan sahaja kepada rakyat dan juga kepada petugas barisan hadapan.

Penyertaan pihak swasta khasnya dalam tempoh pandemik ini adalah amat diperlukan bagi membantu dan memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan, tekanan kepada hospital kerajaan mungkin dapat dikurangkan apabila pesakit bukan COVID dapat diberikan perkhidmatan oleh hospital swasta. Khidmat seperti ini perlulah diperluaskan di setiap daerah agar semua warga Johor dapat perkhidmatan kesihatan yang baik sepanjang masa dan memberi ruang kepada hospital awam menumpukan sepenuh perhatian merawat kes-kes COVID-19. Jumlah kapasiti dan prasarana kesihatan juga sentiasa dinilai semula

mengikut keperluan semasa, di sesetengah klinik kesihatan kemampuan memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik adalah agak terbatas. Malahan kita akui terpaksa memasang khemah tambahan untuk tempat menunggu giliran. Klinik kesihatan yang lengkap merupakan kumpulan sokongan yang penting dari berlakunya kesesakan di hospital. Namun kekurangan fasiliti dan ruang yang terhad ini sentiasa mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Bangunan-bangunan yang perlu dibaik pulih atau dinaik taraf juga diberikan keutamaan bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat dan keperluan yang penting buat masa ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada warga KKM dan seluruh, dari seluruh negara dan di Johor khasnya yang telah bertungkus lumus dalam mendepani pandemik di barisan paling hadapan. Terima kasih atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah memperuntukkan pemberian wang tunai secara One-Off kepada frontliners bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam agenda Johor Berkebajikan dalam Belanjawan 2021. Kerajaan negeri diharap dapat mengemukakan usul agar kerajaan pusat mempertimbangkan semula Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal atau pun BITK di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam. Sektor perubatan kini menjadi nadi utama kesejahteraan rakyat, pelantikan tetap bagi Doktor kontrak menjadi satu perkara yang mesti diambil perhatian dalam situasi terus berhadapan dengan pandemik yang belum tahu kesudahannya. Pendirian kerajaan negeri Johor ini pasti akan memberikan kelegaan dan suntikan semangat untuk pasukan ini terus berkhidmat kepada negara.

Yang Berhormat Speaker, ada beberapa perkara yang Parit Raja ingin bangkitkan pada Persidangan kali ini untuk kesejahteraan bagi masyarakat dalam negeri Johor agar terus terjamin dan mendapat perhatian dari pihak kerajaan yang sewajarnya, terutama terhadap keadaan ekonomi semasa khususnya bagi rakyat Johor dalam mendepani fasa pemulihan negara yang masih berdepan, kita berada pada fasa yang pertama. Di tengah suasana pandemik ini, akibat ekonomi bergerak, aktiviti ekonomi bergerak agak perlahan, projek pelaburan berasaskan kesihatan dilihat sebagai prospek baru dan berpotensi. Dengan dasar kerajaan negeri Johor yang mesra pelabur, penyediaan insentif dan infrastruktur yang terbaik, kerjasama antara agensi di harap dapat memberikan keyakinan kemasukan pelabur baru dan dapat memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri. Perkembangan semasa di negeri Johor menunjukkan trend peningkatan dalam sektor pertanian. Belanjawan Negeri Johor 2021 yang memberi titik fokus kepada agenda tani merupakan pilihan masa yang tepat apabila berhadapan dengan pandemik COVID-19. Negeri Johor mesti berupaya menyediakan bekalan atau bank makanan sendiri, dan tidak terlalu bergantung kepada sumber luar.

Oleh yang demikian, pemerkasaan dalam bidang industri asas tani perlu ditingkatkan agar negeri Johor berupaya menjadi pengeluar produk sama ada pertanian, perikanan dan industri ternakan daging dan ruminan. Contohnya industri ternakan ayam, pedaging halal, ini menjadi kitaran perniagaan yang agak meluas dan permintaan yang tinggi memandangkan wujudnya peniaga kecil yang menghasilkan inovasi makanan berasaskan daging ayam. Kerajaan negeri diharap dapat membuka peluang dan menyediakan lebih banyak inisiatif yang lebih luas kepada usahawan yang berminat untuk memulakan projek rintis. Bantuan peralatan kepada usahawan industri kecil dan sederhana dan juga bantuan khidmat nasihat kepada usahawan.

Yang Berhormat Speaker, Parit Raja ingin menekankan peningkatan pengangguran dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran 4.5% pada Mei 2021 merekodkan 728,100 orang penganggur. Di negeri Johor pula mencatatkan sebanyak 3.5% pengangguran sehingga tahun 2020. Sebilangan mereka yang terjejas ini mencuba nasib dengan menjalankan aktiviti menjaja produk, khususnya makanan dan minuman kini tumbuh bagai cendawan yang tidak dapat dikawal. Ada yang membuka khemah walaupun sekadar di depan rumah atau tepian jalan. Oleh yang demikian, kepayahan yang dialami dan perniagaan bermodalkan wang yang kecil ini tidak memungkinkan mereka untuk mendaftar penjaja, apatah lagi mendaftar perniagaan

di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dalam statistik Tenaga Buruh Malaysia, pada bulan Jun dan suku tahun kedua 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan jumlah penduduk yang bekerja sendiri mengalami pertambahan sebanyak 4,100 orang dengan jumlah 2.5 juta orang menjelang Mei dan berpotensi bertambah setiap bulan. Golongan ini hendaklah di beri perhatian sewajarnya meskipun mereka hanyalah penjaja kecil, namun penggerak ekonomi bagi setiap pengeluar dan pengilang. Amatlah diharapkan golongan ini mendapat perhatian kerana mereka yang berstatus peniaga atau penjaja kecil tanpa lesen dapat memberikan keuntungan kepada pengeluar dan pengilang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, merujuk keratan akhbar Kosmo bertarikh 16 Ogos 2021, dipaparkan hasrat setengah juta golongan belia untuk memiliki lesen memandu yang sah telah tertangguh akibat penutupan institusi memandu. Bukan sahaja belia, malah kebanyakan tenaga pengajar dan agen institut pemandu turut terkesan akibat pandemik ini. Kita sedia maklum pematuhan SOP adalah bertujuan untuk mengekang wabak COVID-19, namun mereka adalah golongan yang terkesan kerana tidak dapat mencari pekerjaan dan keluar mencari rezeki. Peluang pekerjaan seperti penghantar makanan dan barangan bergantung kepada lesen memandu B2, D, GDL dan E yang sah. Kerajaan hendaklah menimbang semula pembukaan institusi memandu dengan prosedur operasi standard atau SOP bagi membendung jangkitan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Belanjawan 2021 telah memberi fokus kepada 12 agenda kebajikan, keberdayaan, keberhasilan utama supaya dapat memacu ekonomi negeri Johor untuk terus berdaya tahan. Dengan tiga objektif utama, menjamin ketahanan dan kelangsungan ekonomi, memperkasa dan memberdaya tahan kebajikan rakyat dan menjamin kesejahteraan dan kemakmuran global. Rakyat Johor meletakkan kepercayaan bahawa kerajaan negeri Johor serta segala perancangan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor akan terus diberi ilham dan kebijaksanaan serta sentiasa dipermudahkan akan segala urusan. Pakej Rangsangan Ekonomi pula yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bermula sejak fasa PKP yang pertama, Pakej Rangsangan Ekonomi 1.0 dengan 52 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM163.32 juta. Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0, peruntukan sebanyak RM117.64 juta dengan 18 inisiatif. Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0, peruntukan RM209.79 juta dengan 33 inisiatif. Dengan situasi wabak pandemik yang masih berterusan, pendapatan ekonomi dalam sesebuah keluarga menjadi amat terhad dan terbatas. Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut dapat memberi kelegaan langsung kepada rakyat. Skim pemberian air percuma kepada golongan B40 yang telah dibentangkan wajar diteruskan untuk tahun akan datang kerana ia memberi manfaat kepada isi rumah.

Speaker

Dua minit lagi Yang Berhormat.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Yang Berhormat Speaker, infrastruktur dan akses Internet merupakan platform utama bagi pelajar, peniaga dan semua keseluruhan rakyat Johor. Ia menjadi nadi untuk rakyat dari sudut pendidikan ekonomi dan industri. Ekonomi Johor kini dipacu oleh teknologi, inovasi dan pertumbuhan ekonomi digital, namun masih terdapat kawasan yang tidak mendapat akses Internet terutama dalam mengurus rutin harian dalam tempoh PKP. Pelan Jalinan Digital Negara yang mensasarkan penambahan menara komunikasi baru dan penaiktarafan alat pemancar serta program Johor WiFi diharap dapat memberi manfaat benar-benar kepada rakyat khususnya dalam meluaskan capaian Internet di kawasan luar bandar.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja yakin segala usaha pihak kerajaan adalah untuk memastikan ekonomi, kesejahteraan, keselamatan rakyat Johor sedang giat digerakkan besar-besaran. Yang Berhormat Tuan Speaker, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Dewan untuk membantu rakyat. Dengan prinsip terbuka, mengetepikan perbezaan fahaman serta memandang tugas Ahli Dewan selaku wakil rakyat itu adalah lebih berat dan utama ketika berhadapan dengan rakyat di

kawasan. Maka dengan berjiwa besar, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor meletakkan tangga harap agar pasukan ini dapat membawa keluar bangsa Johor dari kemelut pandemik COVID-19. Terima kasih sekali lagi Yang Amat Berhormat kerana telah mengumumkan tambahan peruntukan di saat untuk kita berhadapan suku terakhir tahun 2021 yang semakin mencabar ini.

Yang Berhormat Speaker, Parit Raja mengambil kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala khidmat jasa bakti dan pengorbanan frontliners yang telah berbakti dengan begitu baik dan cemerlang dalam tempoh mendepani COVID-19 sejak awal tahun 2020. Kegigihan barisan frontliners untuk memastikan kesejahteraan rakyat agar terus terjamin merupakan satu semangat yang luar biasa dan ia adalah satu pengorbanan yang besar buat negara. Begitu juga penghargaan dan terima kasih kepada seluruh agensi kerajaan yang berganding bahu membantu dalam segala aspek bagi memenuhi keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Yang Berhormat Speaker, bahawa apa juga dugaan di saat mendepani budaya kehidupan norma baharu yang tidak pernah terbayang dalam benak fikiran kita, betapa peri pentingnya kita bernaung dan menjunjung tinggi Institusi Diraja dan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Johor. Payung kedaulatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, telah membentuk dan mengikat keharmonian bangsa Johor. Sebagai rakyat, marilah kita terus menjunjung Perlembagaan dan meletakkan sepenuh taat setia kepada raja dan negara betapa Duli Yang Maha Mulia Tuanku meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama, maka sudah menjadi kewajiban bagi rakyat pula meletakkan sepenuh ketaatan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Yassin, diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada rakyat dan negara. Semoga Allah sentiasa memberikan ganjaran kebaikan serta melimpahi kehidupan Yang Berhormat Tan Sri dengan rahmat dan keberkatan.

Yang Berhormat Speaker, sebagaimana negeri Johor dan negara kita berjaya melandaikan lekuk dalam menangani kes COVID-19 sejak melanda negara kita.

Speaker

Masa dah habis dah Yang Berhormat.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Rakyat negeri Johor pelbagai lapisan berganding bahu memutuskan rantaian COVID bagi merealisasikan Pelan Pemulihan Johor, marilah kita rakyat Johor bangkit untuk terus bersama berganding bahu memastikan bangsa Johor berjaya keluar dari pelbagai masalah yang wujud akibat pandemik ini. Johor dengan cara Johor, kebersamaan semua pihak berganding bahu mendepani pandemik ini satu perkara yang amat penting. Nikmatnya hidup bermuafakat akan membawa berkat. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Parit Raja yakin rakyat Johor akan menjadi bangsa yang lebih bersedia, lebih berdaya tahan dan berupaya membina tamadun yang berjaya. Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Raja mohon menyokong rundingan yang dibawa oleh Yang Berhormat Sri Medan. Sekian Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Parit Raja. Dia punya landing tu 5 minit. Saya ingat dah nak landing tadi. Ok tak apa, terima kasih. Seterusnya saya persilakan Parit Yaani 20 minit. Jemput.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Doa) Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan nabi kita Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat baginda, tabi’in dan para ulama serta pengikut baginda, semoga memperoleh ihsan Allah di hari pengadilan kelak. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih, dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim

Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya tertarik dengan hujah ataupun apa yang dinyatakan oleh YB Zul, Sri Medan, kepimpinan jujur demi rakyat. Kepimpinan merupakan satu elemen terpenting di dalam memacu kesejahteraan rakyat dan negara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berperang dengan pandemik COVID-19. Pengalaman mengajar kita jangan sekali pemimpin atau kumpulan pemimpin membuat sesuatu tindakan di luar dari harapan sebahagian besar rakyat. Kebahagiaan sesebuah negara boleh diumpamakan dengan kehidupan sebuah rumah tangga yang harmoni. Jika ayah dan ibu saling bergaduh, semestinya rumah tangga berkenaan tidak boleh bertahan lama. Keadaan negara kita sekarang adalah seolah-olah seperti telah hilang keberkatan apabila pemimpin menjadi ketua melalui cara yang tidak betul. Membelakangi mandat rakyat yang sah melalui instrumen demokrasi selain pengkhianatan kepada kepercayaan rakan sendiri. Parit Yaani ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini, sesuai dengan titah baginda Sultan Johor supaya pemimpin menunjukkan tauladan yang baik, mendahulukan tanggungjawab kepada rakyat pada setiap masa kerana rakyat yang memilih kita sehingga kita berjaya duduk di dalam Dewan ini. Bukan memikirkan kepentingan peribadi, bukan untuk mengambil kesempatan mengumpul kekayaan dan tidak sekali-kali menyalahgunakan kuasa yang ada atas kepentingan puak atau kumpulan tertentu sahaja.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Parit Yaani ingin mengingatkan kepada semua ADUN, kakitangan kerajaan dan rakyat di luar sana bahawa keharmonian keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara adalah bergantung kepada watak pemimpin ataupun kumpulan pemimpin yang memimpin negara berkenaan. Izinkan Parit Yaani merujuk kepada nama-nama pemimpin yang terkenal dan berjaya memimpin negara dan memimpin manusia di zamannya. Sebagai contoh Mahatma Gandhi di India, Mandela di Afrika Selatan, Nehru di Pakistan sebagai contoh pemimpin yang mempunyai wawasan, ketegasan dan keberanian membawa hasrat rakyat terbesar melawan penjajah.

Sebagai seorang Islam, ingin saya jelaskan di dalam Dewan yang mulia ini antara sifat yang wajib ada pada seorang nabi adalah siddiq, amanah, tabliq dan fatanah yang sepatutnya menjadi ikutan setiap pemimpin yang beragama Islam. Supaya keperibadian pemimpin itu tidak menjadi alasan pihak yang tidak suka kepada pemimpin tersebut mengaitkannya dengan agama yang dianutinya. Inilah pemimpin yang mempunyai akhlak terpuji, walau apa jua pangkat dan jawatan yang kita diberikan tanggungjawab. Adakah kita bersedia untuk menjadi pemimpin dan tercatat di dalam sejarah? Sebagai pemimpin yang akan disebut-sebut sebagai pemimpin yang baik atau seperti pemimpin disebut-sebut di dalam al-Quran? Sebagai pemimpin yang jahat dan zalim kepada rakyat dan derhaka kepada Allah? Semua agama menyeru kepada kebaikan. Menggalakkan manusia hidup dalam keadaan aman dan saling hormat menghormati sesama insan. Apatah lagi Islam yang sangat mementingkan keperibadian pemimpin yang boleh membawa manusia kepada mentaati perintah tuhan.

Akhlak pemimpin yang mulia akan menjadikan negara kita dilihat oleh peringkat antarabangsa sebagai negara yang boleh diberikan kepercayaan untuk melabur, berniaga dan berurusan sebagaimana firman Allah (ayat al-Quran), tiada rasuah, tiada pecah amanah, tiada duit bawah meja, duit atas meja, tiada projek ini kau punya, projek ini aku punya dan tiada skim offsting.

Yang Berhormat Tuan Speaker, cukuplah sejarah hitam yang tercatat di negara kita bagaimana sikap dan tindakan rakyat kepada kerajaan PN baru-baru ini sehingga PM ke-8 terpaksa meletakkan jawatan di atas kegagalan kabinetnya menguruskan pandemik COVID-19. Bukan semakin reda dan menghilang tetapi semakin menggila dan menakutkan kerana bukan sahaja bilangan pesakit semakin melonjak naik sehingga ke angka 20,000 sehari, malah angka kematian harian melebihi 200 seolah-olah sebuah kapal terbang Boeing 737 terhempas setiap hari.

Hatta pelbagai PKP, PKPP, PKPB sehingga diisytiharkan darurat tidak memperlihatkan perubahan ke arah kejayaan bahkan semakin meruncingkan keadaan di hospital serta klinik-klinik yang menguruskan isu pandemik COVID. Kalau kita nisbahkan jumlah pesakit COVID dengan rakyat Malaysia pada Ogos 2021 keseluruhan komuniti pesakit COVID adalah seramai 1,513,024 orang berbanding penduduk Malaysia seramai 34 juta. Bermakna secara purata, setiap 100 orang rakyat Malaysia, 4 orang adalah pesakit COVID. Bilangan kematian pula telah mencecah 13,713 orang. Pelbagai kaedah pendekatan dan cara yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan, semua strategi berkenaan belum berjaya mengekang penyebaran COVID sehingga hampir seluruh negara kini menjadi zon merah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, walau bagaimanapun Parit Yaani ingin mengucapkan terima kasih untuk kerajaan Johor yang telah memberikan peruntukan tambahan pada hari ini RM150,000.00 kepada semua ADUN PH dan juga kepada semua wakil rakyat dan penyelaras DUN masing-masing. Dalam daerah Batu Pahat sahaja sehingga 19 Ogos 2021 pesakit COVID berjumlah 8,142 orang akan tetapi mereka yang di kuarantin disebabkan menjadi kontak rapat sehingga menjejaskan sumber rezeki keluarga yang terjejas melebihi 3,000 keluarga di seluruh DUN Parit Yaani. Dengan ini saya merakamkan, Parit Yaani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan seperti kakitangan KKM, Polis, tentera dan lain-lain yang tidak meninggalkan tanggungjawab mengurus pandemik COVID walaupun ramai di kalangan mereka tewas dan meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19.

Yang Berhormat Tuan Speaker, keadaan COVID di Johor dan saranan menerima dos pertama seluruh Malaysia telah mencapai 17 juta lebih sekitar 54%. Manakala dos kedua baru mencapai 11 juta lebih sekitar 36%. Negeri Johor menduduki kedudukan agak rendah dari segi peratusan penerima vaksin. Penerima dos satu baru 1, 724, 292 sekitar 45.6%, manakala dos kedua baru 870,777 lebih kurang 23%, sedangkan bilangan yang telah mendaftar vaksin adalah sekitar 2,611,821. Dari segi peratus penduduk, populasi dewasa hanya 33.5% rakyat Johor yang telah mendapat dos kedua. Peratusan ini adalah yang kedua terendah di Malaysia berbanding negeri-negeri lain kecuali Sabah.

Persoalannya, mengapa negeri Johor berada di kedudukan ini, dari segi penerima vaksin sedangkan PM ke-8 dan Menteri Kesihatan berasal daripada Johor. Pesakit COVID di Johor adalah seramai 117,990 berbanding penduduk negeri Johor sekitar 3,508,000. Di mana negeri Johor menduduki tempat ketiga selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini bermakna secara purata bagi setiap 100 orang penduduk Johor, 3 daripada mereka adalah pesakit COVID. Kadar kebolehjangkitan COVID Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes harian pada 19 Ogos 2021 di Johor adalah 1.07, lebih tinggi dari kadar kebolehjangkitan negara iaitu 1.04. Selangor 1, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 0.95. Terdapat peningkatan kes brought in dead sebanyak 130% pada 2 minggu pertama bulan Ogos 2021 di seluruh negara. Peningkatan kes kematian juga berlaku di Johor dengan 376 kematian yakni 16%.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkhidmatan penjagaan kesihatan, perlindungan sosial dan sistem tadbir urus keseluruhan merupakan tiga tunjang strategi untuk menentukan kejayaan kita mengatasi COVID-19. Kerajaan negeri disarankan untuk mempertingkatkan kerjasama dengan hospital-hospital swasta selain memperbanyakkan bilangan katil di hospital-hospital medan seluruh negeri untuk menampung peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan di samping mengurangkan kes BID di Johor. Skim khidmat sukarelawan boleh juga diperkembangkan di hospital-hospital untuk menampung kekurangan kakitangan.

Kami mendapat banyak aduan tentang pesakit COVID dan ahli keluarga kontak rapat yang tidak dipakaikan gelang malah ada pesakit COVID-19 yang disahkan positif yang tidak dibawa atau lambat dibawa ke pusat kuarantin. Parit Yaani menyarankan agar pihak berwajib dapat melihat isu ini mencari punca dan menyelesaikannya segera. Kerana semua

perkara ini meningkat risiko jangkitan kepada ahli keluarga serumah dan orang-orang sekitarnya. Selain itu Parit Yaani juga menyarankan kerajaan disarankan memberi keutamaan vaksin kepada pekerja-pekerja yang terlibat dalam sektor-sektor perlu termasuk sektor pembuatan di pasar-pasar, peniaga-peniaga pasar, pasar-pasar raya dan penghantaran makanan. Kawalan SOP dan pemantauan yang lebih ketat perlu dibuat termasuk diadakan mengadakan pemeriksaan mengejut di premis-premis berkaitan. Ini boleh menggelakkan bilangan kematian dan jangkitan tertinggi seperti yang berlaku di kilang elektronik, pembuatan semi-konduktor di Tanjung Agas, Tangkak.

Liputan dan capaian Internet adalah amat penting supaya tiada penduduk di terutama yang berada di luar bandar dan kurang berkemampuan yang tertinggal dari segi capaian maklumat. Penggunaan aplikasi MySejahtera, pembelajaran anak-anak di zaman, di rumah ataupun menjalankan urus niaga perniagaan secara atas talian perlu dipertingkatkan. Kerajaan negeri perlu menganalisis liputan Internet di seluruh negeri dan mempertingkatkan infrastruktur capaian Internet percuma kepada penduduk Johor. Kecepatan dan ketepatan tindak balas kita adalah sangat penting dalam perang menghadapi COVID. Kerajaan negeri perlu mengusahakan satu kaedah atau sistem di mana data mengenai bilangan, masa dan lokasi berkenaan kes baharu, penyebaran kes, kuarantin, penggunaan katil, ICU dan ventilator serta keadaan ekonomi dan penghidupan rakyat dapat diiktiraf dan di analisa dan digunakan secara hampir masa nyata ataupun real-time untuk diambil tindakan secara pantas oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Yang Berhormat Tuan Speaker, persediaan peralihan dari negeri pandemik kepada endemic. Parit Yaani mencadangkan supaya memberi perhatian tentang impak kepada ekonomi Johor. Pada akhir tahun 2020, laporan mencatatkan penurunan pendapatan peruncitan sebanyak 70% berbanding tahun sebelumnya. 5% hingga 10% SME di Johor terpaksa ditutup. Jumlah penginapan di hotel-hotel merosot melebihi 30% dengan penutupan 14 hotel terbesar termasuk Mutiara Johor Bahru yang telah beroperasi lebih 39 tahun. Golongan B40 paling terjejas terutama apabila perniagaan mikro tidak dibenarkan beroperasi. Pendapatan nelayan dan petani luar bandar juga terjejas. Kadar kemiskinan di Johor meningkat dari 13.9% pada tahun 2019 kepada hampir 8% pada tahun 2020. Manakala kadar kemiskinan tegar naik daripada 0.2 kepada pada tahun 2019 kepada 2.5% pada tahun 2020. Kesihatan mental di kalangan rakyat juga dilaporkan merosot dengan Johor mempunyai bilangan bunuh diri tertinggi di antara Mac hingga Oktober tahun lalu. Ini antara sebab-sebab antaranya adalah penutupan sempadan Johor – Singapura. Antara penyumbang besar kepada keadaan ekonomi Johor yang berkaitan dengan Singapura. Lebih 250,000 pekerja Singapura yang tinggal di Johor telah terkandas dan seramai 15,346 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang kebanyakan daripada mereka tinggal dan berasal daripada Johor telah kehilangan pekerjaan. Parit Yaani mencadangkan rantaian pembekalan makanan yang melibatkan Singapura perlu dihidupkan semula dengan mewujudkan saluran khas untuk memasarkan dan menjual produk dari Johor terus kepada pembeli di Singapura. Kerajaan Johor juga perlu mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas antara Johor dan Singapura bagi rakyat Malaysia dan rakyat Singapura yang telah lengkap dua dos vaksin dengan disertai langkah-langkah kawalan yang sewajarnya.

Dan yang ketiga, libatkan libat sama dalam memerangi COVID-19 dalam Majlis Pemulihan Negeri semua pihak perlu dilibatkan dalam usaha kerajaan negeri memerangi COVID dan program pemulihan negeri dari bencana ini. Parit Yaani juga ingin menyarankan agar ADUN-ADUN selain diberikan peruntukan yang telah diumumkan tadi, libatkanlah dalam jawatankuasa-jawatankuasa strategik untuk menangani dan memulihkan ekonomi kerajaan negeri dari COVID-19.

Isu tempatan. Yang Berhormat Tuan Speaker, isu tempatan yang tidak boleh lari dari Parit Yaani adalah Bukit Payung. Sejak Bukit Payung digondolkan untuk dijadikan tapak pelupusan sampah, banjir lumpur, banjir kilat lumpur telah kerap berlaku di kampung sekitarnya. Parit Yaani mohon agar dibina sistem perparitan konkrit yang mencegah

kebanjiran lumpur ini daripada berlaku khususnya di Kampung Mohd Noor, Batu 5, Jalan Parit Sulong. Baru-baru ini lebih 10 buah rumah yang ditenggelami air lumpur menyebabkan kesukaran kepada penduduk.

Yang kedua, penyelenggaraan rumput di tepi-tepi jalan kampung di bawah seliaan Pejabat Daerah, juga didapati tidak dilaksanakan dengan alasan tiada peruntukan. Kami berharap perkara ini mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan.

Speaker

Ada dua minit lagi Yang Berhormat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ramai di kalangan kita yang kehilangan keluarga, ramai di kalangan kita yang kehilangan rakan, ramai di kalangan rakyat kita hari ini yang menjadi balu ataupun yang menjadi yatim piatu. Saya ingin merakamkan, mengambil kesempatan ini ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa-mangsa COVID yang telah mendahului kita. Di antara mereka yang menjadi korban COVID antaranya adalah Almarhum Saudara Shazni Munir, Ketua Pemuda AMANAH Malaysia merangkap Ketua Pemuda Pakatan Harapan Malaysia yang baharu berusia 34 tahun, Allahyarham Saudara Abdullah Idris, Ketua AMANAH Kawasan Pulai, Allahyarham Normah binti Hairan, isteri kepada Ustaz Ahmad Sani, Ketua AMANAH Kawasan Tanjung Piai dan dua orang setiausaha AMANAH dari kawasan Pasir Gudang dan kawasan Batu Pahat, iaitu Almarhum Haji Mahathir dan Haji Sarpin Haji Sirat dan Almarhum Haji Sidam bin Abdul Rashid, termasuk dua minggu lepas, abang kandung saya sendiri meninggal kerana COVID. Sama-sama kita berdoa agar Allah mengangkat wabak ini daripada negara kita dan Johor khasnya, dan kita boleh melaksanakan urusan harian seperti biasa tanpa wabak dan saya mohon kepada Dewan yang mulia ini, bagi yang beragama Islam kita sedekahkan fatihah kepada seluruh mereka yang meninggal dunia akibat COVID. Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, al fatihah.

Speaker

Seterusnya, terima kasih kepada Parit Yaani yang telah mengemukakan ucapannya. Seterusnya saya persilakan Stulang. 10 minit.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker atas peluang diberikan. Terlebih dahulu, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam era pandemik yang cukup menyeksa ini, musuh utama bersama kita adalah virus COVID dan cabaran kita dalam menyesuaikan diri dalam kehidupan norma baharu ini. Jadi bagaimana Wakil Rakyat sama ada kerajaan atau bukan kerajaan boleh berganding bahu bersama-sama dengan para pegawai kerajaan serta rakyat jelata dalam memerangi wabak COVID ini. Pesanan dalam Ucapan Bajet Dato’ MB tahun lalu yang menekankan bahawa pembangkang di Johor merupakan rakan strategik dan pelengkap kepada kerajaan merupakan bentuk kerjasama yang patut kita usahakan saya rasa,supaya ia menjadi kenyataan di antara para Wakil Rakyat dalam apa jua struktur atau agensi kerajaan, seperti yang Sri Medan ada sebut juga mendukung budaya politik yang matang. Jadi pada hemat saya, konsep rakan strategik dan pelengkap kerajaan di kalangan Wakil Rakyat boleh diterjemahkan melalui cara-cara berikut.

Pertama, Wakil Rakyat pembangkang harus dilibatkan lakaran dasar peringkat jawatankuasa, pandangan atau idea semua Wakil Rakyat wajar dirujuk atau dipertimbangkan secara terperinci, taklimat dan data-data atau input awalan penting juga boleh dibekalkan terlebih dahulu sebagai bahan rujukan untuk percambahan fikiran gubahan dasar. Lebih-lebih lagi apabila berdepan ancaman COVID, Wakil-Wakil Rakyat pembangkang sebenarnya boleh membantu dalam pengurusan COVID, hal ehwal

pemberian vaksin, CITF, perihal kawalan pergerakan atau keselamatan, dasar-dasar SOP, pelan tindakan pemulihan ekonomi setempat dan Johor sama ada makro atau mikro, belanjawan negeri tahunan, pembukaan sempadan, perihal rentas sempadan dan sebagainya. Jadi, perlu ditekankan di sini adalah, kami adalah ikhlas apabila menyentuh tentang kemajuan Johor dan memerangi COVID. Ini boleh jelas dilihat di peringkat akar umbi apabila menyentuh tentang kebajikan atau kepentingan umum, kami akan menghulurkan apa jua bantuan tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa.

Kedua, membenarkan semua Wakil Rakyat agar boleh menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah. Penglibatan ini mustahak bagi mendapatkan pandangan-pandangan untuk menyelesaikan masalah rakyat bersama. Ini juga merupakan satu pentas perkongsian data-data penting bagi membolehkan para Wakil Rakyat bertindak berlandaskan keadaan sebenar dengan tepat tanpa membazirkan sebarang sumber. Yang penting adalah masalah rakyat selesai.

Selain itu, peruntukan kawasan untuk setiap Wakil Rakyat yang setara juga adalah penting. Ini bagi membolehkan setiap Wakil Rakyat menjalankan gerak kerja untuk manfaat rakyat. Ia juga penting bagi menghantar satu mesej bahawa semua Wakil Rakyat adalah bersama-sama berganding bahu dalam memerangi COVID. Terima kasih kepada Dato’ MB kerana telah berkali-kali menyalurkan peruntukan outreach geran kepada pihak pembangkang juga.

Kemudian, kadang-kadang para pegawai kerajaan dalam keadaan dilema dan serba salah juga kerana mereka telah, sebenarnya telah bersungguh-sungguh dan berniat baik untuk membantu isu yang dibawa oleh Wakil Rakyat pembangkang bagi menyelesaikan masalah rakyat. Terima kasih diucapkan. Tetapi kadang kala ini nak bantu atau tak nak bantu ini ya, mereka serba salah kerana kadang-kadang bantu nanti takut risau kerajaan atau MB marah, kalau tak bantu, masalah tak settle pula, ini kadang-kadang berlaku. Jadi, dalam soal ini saya rasa, Dato’ MB sebagai pemimpin memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan kerjasama erat ini dengan chemistry yang ideal. MB perlu saya rasa memandu, memerintah dengan jelas dalam bentuk mesej, arahan, hala tuju dan pendirian agar corak kerjasama dan hala tuju bersama ini jelas di kalangan Wakil Rakyat kerajaan, pembangkang dan para pelaksana. Kerana tidak boleh dinafikan adalah, Wakil Rakyat adalah penghubung, semua Wakil Rakyat adalah penghubung di antara kerajaan dan rakyat. Dan, semua ini akan diperkukuhkan dengan adanya para pelaksana yang menyampaikan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan kepada rakyat.

Jadi, apabila masalah rakyat boleh diselesaikan tanpa mengira isu ini dibawa sama ada oleh pihak kerajaan atau pembangkang atau walaupun cadangan dasar penyelesaian dibawa oleh Wakil Rakyat bukan kerajaan, maka ini secara tidak langsung boleh dikatakan agensi kerajaan berserta dengan kerajaan, Wakil Rakyat telah menjalankan tugas penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Sekiranya masalah rakyat tidak diendahkan, kerana adanya perbezaan fahaman politik, maka masalah ini akhirnya sebenarnya akan dituju balik kepada kerajaan kerana belum selesai. Yang pastinya adalah rakyat menanggung semua kesengsaraan.

Sekarang pandemik ya, kita perlu bekerjasama dan diberi ruang untuk bekerjasama. Dalam politik, memang biasalah tidak kira apa parti pun, ya, kita berkempen semasa PRU untuk menang, ini biasa, ini biasa. Apabila kita dalam sepasukan dulu ya, kita berjuang menolong rakan-rakan kita dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Sebagai parti lawan, kami saling menghormati ya, langsung tidak pernah menyerang peribadi. Apabila kami menang, kami kongsi kegembiraan, kongsi hasil keringat dan tidak pernah berebut-rebut dengan kawan. Kami tidak menghina lawan, tidak pandang rendah lawan. Apabila kami kalah, apabila kami ditinggal kawan, kami akur, kami bersabar juga dan tidak pernah menyumpah jahat ya. Jadi dengan asas yang ada ini, demi rakyat, kita, kami, kita, kita, kami boleh duduk semeja berunding, bermuafakat. Saya rasa dengan cara bangsa Johor kita yang tersendiri, kita boleh mengharungi cabaran COVID yang cukup genting ini.

Speaker

Dua minit lagi Yang Berhormat.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Speaker, Johor merupakan negeri yang menyumbang besar kepada ekonomi Malaysia. Kerancakan ekonomi banyak juga bergantung kepada ekonomi sempadan iaitu sempadan Johor – Singapura. Kebolehbukaan sempadan Malaysia – Singapore merupakan faktor utama yang akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Johor Bahru setempat dan Johor. Walaupun pembukaan penuh sempadan seolah-olah sukar kerana epoxy Johor dan Malaysia yang masih tinggi ditambah pula dengan kadar vaksinasi yang belum mencapai sasaran imuniti kelompok ya. Maknanya, sekiranya kita gagal memerangi COVID dan lambat mencapai imuniti kelompok, maka kesan sampingan yang perlu ditanggung rakyat adalah berkesan rantaian sama ada kesihatan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Jadi, saya rasa banyak yang akan dibangkitkan secara mendalam oleh rakan-rakan saya selepas ini. Isu tersebut termasuklah pusat vaksin, MySejahtera, SOP, kuarantin, pembukaan sekolah, rentas sempadan, pasport vaksin, bantuan-bantuan mereka yang memerlukan, masalah sosial, isu mata pencarian, pertanian, kilang tutup dan sebagainya. Jadi, besar harapan saya adalah kesemua isu dan cadangan yang dikemukakan di dalam Dewan yang mulia ini diberi perhatian dan dibincangkan secara terperinci bersama selepas sidang Dewan ini. Di kesimpulannya, bermula dari saat ini, pandang seriuslah kes positif sekarang, jangan mengharapkan keputusan yang berlainan dengan cara yang sama. Bersama-samalah kita menggembleng tenaga, kita mendukung politik matang yang baharu, kita lawan COVID, kita pulihkan ekonomi, kita sasarkan imuniti kelompok untuk kesejahteraan diri, keluarga dan negara. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya terima kasih Stulang. Seterusnya saya persilakan Bukit Pasir.

Kapt (B) Haji Najib bin LepPAS · GSBukit Pasir

Bacaan selawat. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, patik merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas ucapan dan perasmian semasa Sidang Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Ucapan selamat turut patik panjangkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, semoga Allah SWT memberi kurnia kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kesihatan dan umur yang panjang, insya-Allah.

Alhamdulillah, ucapan tahniah dan selamat Bukit Pasir panjangkan kepada kerajaan negeri Johor atas inisiatif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0 yang dikeluarkan pada tarikh 10 Jun 2021. Kerajaan negeri Johor kekal mengutamakan bantuan kebajikan kepada masyarakat serta ekonomi negeri terutama pada waktu pandemik ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Pasir juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih atas jasa besar yang ditaburkan oleh staf serta sukarelawan barisan hadapan bagi menghentikan penularan wabak COVID-19. Semoga segala budi yang ditaburkan menjadi benih yang dapat memberi manfaat kepada semua dan akan sentiasa dikenang masyarakat Malaysia. Tanpa melengah masa, Bukit Pasir membentangkan perbahasan kepada empat perkara terpenting iaitu situasi pandemik, pembangunan ekonomi negeri, sistem berpendidikan dan pengurusan pentadbiran di peringkat kemasyarakatan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, point-point di bawah situasi pandemik adalah berkenaan bantuan bulanan yang perlu dipertimbang oleh kerajaan negeri kepada ahli keluarga mangsa kematian COVID-19. Bantuan bulanan sama ada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun bantuan ilat dilihat amat penting apabila mereka kehilangan ahli keluarga yang menjadi punca nafkah keluarga yang ditinggalkan. Selain itu, akibat situasi pandemik, Bukit Pasir ingin mengetengahkan SOP sembelihan terutama semasa sambutan Hari Raya Korban tahun ini yang dilihat amat ketat dan membebankan penternak. Selain daripada wajib dijalankan di pusat sembelihan, kaedah yang perlu dicincang daging

mengakibatkan proses yang memakan masa terbeban serta penternak yang menanggung kerugian kerana dibatalkan pesanan lembu korban. Bukit Pasir ingin membahaskan bahawa SOP sembelihan ini perlu dikaji dengan lebih mendalam berkenaan kebaikan serta keburukan terutama kepada penternak yang terpaksa menanggung kesan dan akibat SOP yang terlalu ketat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Pasir terus kepada situasi pandemik yang seterusnya iaitu berkenaan kluster Persiaran Agas. Tempoh penutupan sepenuhnya kilang di Tanjung Agas yang dilengahkan walaupun telah tercatat kes positif pertama menyebabkan jumlah kluster di daerah Muar serta angka kematian meningkat dengan drastik. Menjadi persoalan daripada Bukit Pasir mengapa tiada tindakan yang diperketatkan kepada kilang yang masih dibenarkan beroperasi sedangkan ia berpotensi tinggi untuk mengakibatkan kluster yang membebankan rakyat. Maka DUN Bukit Pasir berharap dapat dibahaskan perkara ini serta kerajaan negeri dapat menyatakan data statistik kilang serta sektor pembuatan di negeri Johor yang telah berdaftar di bawah inisiatif Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) serta jumlah pekerja yang telah divaksin.

Perkara seterusnya di bawah pembangunan ekonomi negeri, iaitu berkenaan inisiatif Bank Makanan Johor dengan izin, Food Security yang merupakan salah satu tujuh agenda utama Makmur Johor yang dibentangkan pada 24 November 2020, perbahasan daripada DUN Bukit Pasir adalah berkenaan Pusat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (PTKPM) seperti di Lubuk Bakul, Hulu Bakri serta pusat tani di Pagoh menjadi lokasi berpotensi untuk kegiatan penternakan serta sektor pertanian. Adakah kerajaan negeri memiliki perancangan untuk membangunkan kawasan PTKPM ini agar agenda utama Makmur Johor dapat dicapai dan dimanfaatkan?

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Pasir beralih kepada perkara ketiga iaitu sistem berpendidikan. Bukit Pasir membawa fokus kepada madrasah serta tahfiz yang sering tercicir daripada menerima bantuan seperti bantuan sumbangan peranti daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 3.0. Bantuan ini diharapkan dapat dipertimbangkan lagi terutama institusi pendidikan kini bergantung harap kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah, PdPR.

Yang Berhormat Tuan Speaker, perkara keempat dan yang terakhir daripada Bukit Pasir adalah pengurusan pentadbiran di peringkat kemasyarakatan. Bukit Pasir dengan penuh pengharapan agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan dana peruntukan serta kadar bayaran kepada dua jabatan dan kakitangan yang akan diketengahkan oleh DUN Bukit Pasir, iaitu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Askar-askar Wataniah, sumbangan serta pengorbanan yang dilaksanakan waktu pandemik ini banyak memberi cabaran. Justeru Bukit Pasir percaya dana peruntukan serta bayaran elaun tersebut perlu dipertimbang lagi agar dapat dimanfaatkan oleh jabatan tersebut serta anggota masing-masing.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu, Bukit Pasir berharap agar kerajaan negeri dapat memberi pencerahan berkenaan elaun ketua kampung serta setiausaha yang tergendala sejak bulan Ogos 2020 terdahulu. Bukit Pasir juga berharap sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan dengan inisiatif daripada kerajaan dapat memperhalusi kerjasama serta mengambil berat akan kebajikan jawatankuasa yang ditubuhkan dengan, di bawah JPKK kampung agar peranan penting yang dijalankan oleh mereka seperti menyalur bantuan sumbangan barangan dapur mahupun memperolehi data statistik di kawasan masing-masing agar bertambah lancar dan dicemerlangkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, point terakhir daripada DUN Bukit Pasir berkenaan pengurusan harta pusaka, ini teramat penting kerana didapati banyak bertindih-tindih terutama bagi keluarga yang telah meninggal. Berdasarkan peningkatan angka kematian di negeri Johor sahaja mencatat sejumlah 827 kematian. Laporan sumber Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 26 Julai 2021. Akibatnya proses pengurusan harta pusaka

oleh ahli keluarga mangsa kematian semakin bertambah, maka Bukit Pasir mencadangkan agar kemudahan untuk masyarakat luar bandar menguruskan pembahagian harta pusaka dapat dipercepatkan.

Speaker

Satu minit lagi Yang Berhormat.

Kapt (B) Haji Najip bin LepPAS · GSBukit Pasir

Proses yang memakan masa serta kaedah urus tadbir berkenaan harta pusaka perlu diketengahkan ditambah baik, ketua kampung dan penghulu boleh memainkan peranan penting di peringkat masyarakat manakala industri pengurusan harta pusaka pula wajar diletakkan di bawah kategori penting sebagai salah satu inisiatif pemulihan negeri demi manfaat dan kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah maka dengan itu Bukit Pasir menutup perbahasan ini dengan sedikit ucapan penghargaan kepada negara Malaysia serta masyarakat keseluruhannya yang terus bertarung demi membangunkan negara Malaysia tidak mengira kemelut dan cabaran yang ditempuhi. Bukit Pasir mengucapkan selamat menyambut bulan kemerdekaan kepada semua masyarakat khususnya DUN Bukit Pasir, semoga Allah SWT memberi kita perlindungannya daripada musibah bala bencana serta seksaan azab api neraka di akhirat kelak, nauzubillahiminzalik. Akhir kata, sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya berpantun, barisan hadapan bekerja tekun, berkorban demi masa depan negara, Malaysia merdeka 64 tahun, semoga kedaulatan terus dipelihara.

Cabaran mendatang perlu ditempuh, bersama-sama bertambah teguh, salah dan silap maaf dipohon, segala kerja Bukit Pasir terus perkukuh.

Sidang Dewan selamat berlangsung, titah Sultan kan semua dijunjung, kebajikan rakyat terus di dukung, ekonomi negeri perlu di sokong.

Sekian wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Bukit Pasir. Seterusnya saya persilakan Endau.

Terima kasih YB Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pertamanya Endau ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada kali ini. Sesungguhnya Persidangan pada kali ini penting bagi Endau bagi menyampaikan suara hati dan permasalahan yang dihadapi di kawasan Endau berikutan kita masih berperang dengan COVID-19 dan semoga apa juga Endau utarakan pada kali ini dapat diambil berat dan perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Terlebih dahulu Endau ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas perkenan baginda mencemar duli merasmikan Persidangan ini dan Endau menjunjung titah pada tiap pandangan dan teguran oleh Tuanku. Ampun Tuanku. Patik dan seluruh warga Endau juga ingin merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris, Permaisuri Johor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 14 Ogos 2021 yang lalu. Patik dan warga Endau serta seluruh rakyat Johor mendoakan semoga Allah melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh keluarga Diraja agar terus diberkati, dirahmati dan menaungi negeri Johor dengan makmur dan harmoni.

Di kesempatan ini Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas keprihatinan dan kebertanggungjawaban beliau dengan membantu menyalurkan sejumlah peruntukan kepada semua wakil rakyat tidak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terjejas dengan pandemik ini. Ia sebagai wakil rakyat kawasan sudah pasti inilah tanggungjawab kita membantu sehabis baik anak buah di kawasan kita supaya

tidak terlalu terbeban dalam menghadapi ujian yang sungguh berat ini bagi kita semua. Sekali lagi terima kasih Yang Amat Berhormat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Endau juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor khususnya Yang Berhormat Tenang selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur di atas penambahan laluan bas di kawasan DUN Endau. Sesungguhnya dengan adanya tambahan laluan bas ini memberi manfaat kepada orang Endau dalam memudahkan urusan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, malahan ianya akan memberi manfaat kepada para pelajar sekolah yang boleh menggunakan perkhidmatan bas ini. Kredit juga Endau berikan kepada YB Rengit selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana kajian laluan perjalanan bas tambahan ini dilakukan oleh Jabatan Perancang Majlis Daerah Mersing dan ianya sering dibangkitkan dalam perbincangan malahan Endau sering bertanyakan perkembangan terkini mengenai laluan bas ini kepada pihak Majlis Daerah Mersing. Terima kasih kepada semua pihak atas bantuan ini dan semoga ianya dapat disegerakan. Maka dalam kita berusaha menangani pandemik COVID-19 ini, Endau ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan bangsa Johor. Hal ini termasuklah pemberian kepada insentif kepada bangsa Johor, malahan pelan vaksinasi di Johor juga telah diperhebatkan. Endau menjunjung tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor di atas keprihatinan Tuanku bagi program vaksinasi di dalam negeri Johor. Endau juga mengucapkan terima kasih kerana sebuah pusat pemberian vaksin telah dibuka di kawasan DUN Endau dan ianya akan lebih mempercepat dan memudahkan program vaksinasi di dalam negeri Johor khususnya di DUN Endau. Maka pada Allah jualah kita berserah di atas segala usaha kita membendung dan menangani wabak ini dan semoga ianya memberi sebaik-baik kebaikan kepada kita semua, Insya-Allah.

Yang Berhormat Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada kali ini bagi menyampaikan suara hati masyarakat Endau. Pertama isu serangan gajah liar. Yang Berhormat Tuan Speaker, umum mengetahui bahawa serangan gajah liar menyebabkan kerosakan tanaman pertanian bukan sahaja berlaku di daerah Mersing, malahan berlaku juga di daerah-daerah lain terutamanya di daerah Kota Tinggi, Kulai dan Kluang. Bagi permasalahan ini Endau telah dimaklumkan oleh beberapa penduduk dalam kawasan seperti Air Papan, Tenglu, Semaloi, Penyabung bahawa kebun tanaman mereka telah diserang dan dimusnahkan oleh kumpulan gajah liar ini. Bertindak atas aduan ini, Endau telah mengadakan lawatan ke kebun yang terlibat dan mengadakan perbincangan bersama pekebun dan beberapa agensi seperti Jabatan PERHILITAN dan Malaysia Palm Oil Board (MPOB). Endau dimaklumkan oleh pihak PERHILITAN bahawa hampir 15 ekor gajah liar ini akan bergerak secara berkumpulan bermula dari Air Papan sehinggalah Labung yang mana akan mengambil masa sebulan atau satu pusingan perjalanan. Malangnya akibat kekurangan makanan di hutan, maka kitaran perjalanan dari Air Papan sehinggalah ke Labung hanya mengambil masa kurang 2 minggu. Endau melihat banyak pokok sawit telah dimusnahkan dan ianya telah memberi kerugian kepada para pekebun.

Endau juga telah menyalurkan sejumlah peruntukan secara One-Off sebagai pemberi semangat kepada hampir 13 pekebun kecil yang mengalami kerugian akibat serangan gajah liar itu. Maka Endau berpandangan perlu ada satu langkah atau tindakan jangka panjang oleh pihak atau agensi berkaitan mengenai pergerakan gajah liar ini. Kita risau jika hari ini haiwan itu hanya mungkin menyerang dan menduduki kawasan kebun, mungkin esok atau lusa kawasan kampung atau perumahan pula menjadi tempat persinggahan mereka untuk mencari makanan. Secara tindakan jangka masa pendek pula Endau juga telah membekalkan serta menyerahkan tiga buah meriam besi bagi kegunaan pekebun menghalau kumpulan gajah ini mendekati atau memasuki kawasan kebun mereka. Semoga usaha ini dapat mengurangkan kerugian berterusan kepada pekebun dan semoga satu pelan tindakan yang baik dapat dirangka oleh pihak kerajaan dan jabatan yang berkaitan untuk menangani masalah ini.

Kedua, aktiviti pelancongan daerah Mersing. Yang Berhormat Speaker, industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Negeri Johor tidak terkecuali dalam menghadapi situasi ini. Sektor pelancongan di daerah Mersing yang merupakan salah satu destinasi terkenal di negara ini turut terjejas ketika ini. Kementerian Pelancongan Seni dan budaya (MOTAC) mengunjurkan kerugian sektor ini mencecah RM100 bilion dan lebih ramai pekerja yang bekerja di sektor ini akan kehilangan pekerjaan. Dalam membantu sektor ini, kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Pakej Pelindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah menyalurkan pelbagai bantuan. Antaranya melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan, membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan, menyalurkan geran bantuan khas secara One-Off sebanyak RM3,000.00 kepada agensi pelancongan dan banyak lagi bantuan yang terus disalurkan kepada sektor ini.

Sebelum ini pihak kerajaan telah memperkenalkan Gelembung Pelancongan Bersasar di mana daerah atau negeri yang berada di zon hijau boleh melancong ke daerah atau negeri zon hijau lain melalui agensi pelancongan dan membuka sektor pelancongan mereka. Walau bagaimanapun akibat peningkatan mendadak penularan wabak COVID-19 ini, perkara ini telah ditangguhkan. Endau ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar Gelembung Pelancongan Bersasar atau Gelembung Pelancongan Hijau iaitu Travel Bubble Green Zone dibenarkan semula bagi merancakkan sektor pelancongan ini terutama di daerah Mersing yang dahulunya setiap minggu sebelum penularan wabak COVID-19 tidak sunyi dengan kehadiran ribuan pelancong berkunjung ke pulau-pulau dan tempat-tempat menarik di daerah Mersing. Oleh kerana kadar vaksinasi semakin meningkat, Endau berharap pihak kerajaan negeri dapat mencadangkan perkara ini kepada Majlis Keselamatan Negara. Perkara ini penting kerana pemegang taruh dan industri ini sangat terjejas teruk sejak tahun 2020 lagi dan ada di antara mereka terpaksa gulung tikar, ramai yang kehilangan sumber pendapatan. Dengan membenarkan semula aktiviti pelancongan, ia bukan sahaja memberikan kesan positif kepada penggiat industri ini tetapi juga dapat membantu industri hiliran seperti perusahaan kecil dan sederhana serta peniaga-peniaga kecil yang lain.

Ketiga ialah mengenai nelayan dan mata pencarian. Yang Berhormat Speaker ketika Endau mengikuti penyerahan bakul makanan peringkat Parlimen di kawasan Mersing, para nelayan telah membuat aduan di mana bot pukat tunda telah mengaut hasil laut di kawasan pantai.

Speaker

Satu minit lagi Yang Berhormat.

Perkara ini adalah salah di sisi undang-undang kerana bot pukat tunda mempunyai had jarak nautika yang dibenarkan untuk mereka memungut hasil laut. Hal ini sedikit sebanyak telah membebankan para nelayan pantai untuk memungut hasil laut kerana aktiviti pukat tunda telah mengurangkan hasil tangkapan mereka. Endau mencadangkan dengan pembinaan tukun tiruan di sekitar pantai ini sedikit sebanyak mampu mengekang aktiviti pukat tunda sekali gus membantu para nelayan tempatan untuk mendapatkan hasil laut dengan lebih banyak.

Yang keempatnya adalah mengenai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula bulan Mac 2020 yang lalu apabila pihak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, sesi persekolahan secara bersemuka seluruh negara ditangguhkan dan PdPR telah diperkenalkan. Ini adalah norma baharu dalam dunia pendidikan Malaysia. Untuk makluman YB Speaker dan sidang Dewan tidak dinafikan PDPR di negara ini jika merujuk kepada manual pelajar yang dikeluarkan oleh pihak KPM adalah gabungan kaedah dalam dan luar talian, namun keciciran masih berlaku apabila disambung semula bermula 13 Jun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Masyarakat khususnya ibu bapa mula rasa risau terhadap keciciran dan penguasaan pembelajaran anak-anak mereka.

Oleh yang demikian, Endau ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri dalam mengatasi isu PDPR terutama di negeri Johor. Pertama, mewujudkan pusat komputer di semua kawasan DUN di negeri Johor, walaupun pihak kerajaan persekutuan telah menubuhkan Pusat Internet Komuniti tetapi tidak semua kawasan mempunyai pusat tersebut. Oleh itu, Endau memohon pihak kerajaan negeri dapat mewujudkan pusat Internet negeri sebagai tambahan sebagai pusat Internet sedia ada dan pusat ini harus dibina di kawasan luar bandar kerana kawasan-kawasan ini sangat memerlukan ini dalam norma baharu pendidikan.

Speaker

Masa dah tamat Yang Berhormat.

Keduanya…

Speaker

Ringkaskan.

Sikit aje Tuan Yang Berhormat Pengerusi. Keduanya, capaian Internet dan jalur lebar, kita mengetahui pada salah satu cabaran dalam PDPR ini adalah capaian Internet khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Di kawasan Endau sendiri Yang Berhormat mempunyai beberapa kampung Orang Asli seperti Kampung Orang Asli Peta, Punan, Tanah Abang, Labung dan Tewowo. Oleh yang demikian, Endau sangat secara serius memohon pihak kerajaan dapat menimbangkan untuk memasang lebih banyak pencawang khususnya di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Dan, Endau juga mengharapkan Projek Johor Wifi diperluaskan di kawasan-kawasan luar bandar.

Oleh kerana masa tidak mengizinkan, maka saya sekali lagi yang nak saya maklumkan di sini adalah untuk makluman oleh kerana dalam keadaan COVID-19 ramai yang terkesan. Cuma saya nak memohon supaya pihak, nak di maklum dekat sini adalah memandangkan ramai yang terkesan banyak perkara yang berlaku di kawasan Endau sendiri iaitu pertamanya pejabat ADUN Endau sendiri telah pecah masuk dan rumah Wakil Rakyatnya sendiri pun di pecah masuk dan pada saya, saya berharaplah pada pihak Polis dapat melaksanakan lebih banyak lagi rondaan dan sebagainya di kawasan-kawasan yang dirasakan terjejas kerana COVID-19 ini. Jadi, saya sebagai pengakhirannya Endau menginsafi bahawa sebagai seorang Wakil Rakyat kita bertanggungjawab dan diamanahkan untuk berkhidmat di kawasan kita. Semoga Allah memberikan ihsan-Nya buat kita semua dan kekuatan untuk terus berkhidmat kepada bangsa Johor.

Sekali lagi terima kasih kerana memberi Endau pada kali ini dan semoga segala apa jua yang Endau utarakan pada hari ini dapat diberikan perhatian oleh pihak yang Endau nyatakan di setiap permasalahan diutarakan. Pada Allah jualah Endau berserah. Allah Peliharakan Sultan. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih kepada Endau. Seterusnya saya persilakan Jementah. 10 minit.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Salam sejahtera Yang Berhormat Tuan Speaker, patik terlebih dahulu ingin merafak sembah setinggi-tingginya ke hadrat menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat memberi titah sempena Pra Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14. Jementah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua barisan frontliners khususnya penjawat-penjawat kesihatan awam yang berkhidmat tidak kepenatan bagi melindungi dan merawati rakyat jelata yang terjangkit COVID-19. Bagi mereka yang berkorban nyawa saya merakamkan salam takziah kepada ahli-ahli keluarga mereka.

Yang Berhormat Tuan Speaker, makin banyak rakyat, banyak nyawa telah terkorban dan kelangsungan hidup seharian rakyat juga amat terkesan akibat jangkitan virus COVID-19.

Banyak juga pengusaha-pengusaha yang terjejas dan terpaksa menggulung tikar kerana tiada perniagaan boleh dijalankan. Rakyat seolah-olah terhimpit dalam satu keadaan dilema di antara mengimbangkan kesihatan dan kelangsungan hidup. Dalam masa yang getir ini, bagi pihak rakyat kawasan Jementah ingin saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor kerana telah melaksanakan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM490 juta untuk membantu rakyat jelata di negeri Johor. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat yang memberikan peruntukan kepada Ahli-Ahli Dewan pembangkang supaya kita boleh membantu rakyat-rakyat setempat.

Yang Berhormat Speaker, rakyat-rakyat dan pengusaha-pengusaha tidak boleh bergantung semata-mata sahaja kepada bantuan-bantuan kerajaan yang kebanyakannya merupakan bantuan secara One-Off. Rakyat tidak boleh lagi kurung di rumah, sudah tiga bulan berlalu sejak pelaksanaan PKP 3.0. Dan banyak pengusahaan juga memberi lost power mereka perlu menjalankan hidup dan menjalankan perniagaan mereka. Maka salah satu petunjuk yang sangat utama dalam kita mempertimbangkan untuk membuka, bagi peniaga untuk membuka semula adalah kadar vaksinasi di negeri Johor. Saya ingin membangkit perkara ini kerana kadar vaksinasi di negeri Johor seperti yang tadi pun ada disebut oleh Yang Berhormat Parit Yaani, tidak begitu memuaskan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Johor merupakan negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, selain daripada Pulau Pinang dan Selangor. Kira-kira 10% KDNK national dan kira-kira 23% pendapatan negara dalam sektor pembuatan adalah datang daripada negeri Johor. Akan tetapi kadar vaksinasi di Johor adalah jauh ke belakang berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Menurut data terkini yang dibekalkan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Kepada Vaksinasi setakat 20 Ogos, Johor menduduki tangga ke-9 dan kadar vaksinasi dos pertama dengan kadar 65.9% dan tangga yang ke-12 kadar vaksinasi lengkap iaitu dos kedua dengan 35% sahaja bagi populasi dewasa. Saya berpendapat bahawa kerajaan negeri Johor boleh berusaha lagi supaya berbincang dengan pihak kerajaan persekutuan untuk menambahkan lagi banyak bekalan vaksin kepada negeri Johor, supaya kadar vaksin, vaksinasi negeri Johor dapat dipertingkatkan dan vaksinasi juga dapat dipercepatkan di negeri Johor. Supaya aktiviti-aktiviti ekonomi dapat dibuka dalam masa yang terdekat ini walaupun kita perlu mematuhi kepada ketetapan-ketetapan yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan. Ini adalah satu perkara yang sangat penting dan saya berharap kerajaan negeri Johor berusaha dalam bidang ini supaya peniaga-peniaga boleh cepat apa ni, membuka atau menjalankan perniagaan mereka semula lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sedang mengharung satu unprecedented crisis. Titah Tuanku Sultan juga menyatakan semua Ahli-Ahli Dewan perlu bekerjasama dan bersatu padu untuk kita memerangi wabak COVID-19. Jementah ingin membangkitkan perkara tentang penubuhan pelbagai Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas Dewan Negeri yang merangkumi Ahli-Ahli Dewan kedua-dua pihak dan juga melibatkan Ahli-Ahli Dewan pembangkang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah (JKTD).

Yang Amat Berhormat Menteri Besar pernah menyatakan bahawa pihak pembangkang merupakan rakan strategik dan juga pelengkap kepada kerajaan. Ini menunjukkan bahawa Yang Amat Berhormat adalah seorang pemimpin yang sentiasa sedia terbuka untuk mendengar, menerima maklum balas, pandangan dan kritikan yang membina daripada pihak sebelah sini. Walau bagaimanapun, setelah 8 bulan berlalu, pelaksanaan berkenaan dengan penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas Dewan Negeri dan juga penglibatan Ahli-Ahli Pembangkang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah belum nampak ada sebarang kemajuan.

Tuan Speaker, kedua-dua perkara ini saya bangkitkan sebab ia merupakan pentas yang penting untuk juga pihak sebelah sini ni, sebelah sini, pihak Ahli-Ahli pembangkang untuk menyumbangkan idea-idea kita atau memberikan pandangan kita kepada pihak kerajaan untuk menyempurnakan lagi apa-apakah kekurangan di sebelah pihak kerajaan. Maka, saya pohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya menggalas tanggungjawab dan

berusaha untuk menubuhkan apa ni, Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas Dewan Negeri dan juga melibatkan Ahli-Ahli Dewan pembangkang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah.

Speaker

Dua minit lagi Yang Berhormat.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Seterusnya, saya ingin membuat beberapa pertanyaan kepada pihak kerajaan berkenaan dengan kadar peratusan mengenai kes-kes sporadic positif COVID-19, iaitu kes-kes yang tidak dapat dikesan punca jangkitannya di negeri Johor. Apakah kadar peratusannya sebab kita mendapati bahawa kes-kes kategori pertama iaitu yang tanpa bergejala meliputi lebih kurang 50% daripada kes-kes positif. Adakah ini disebabkan oleh kerana kes-kes yang apa ni yang sporadic, yang kita tidak dapat cari punca dia yang, memberi jangkitan kepada orang lain. Adakah dia daripada kategori yang pertama ini, tanpa bergejala. So, ingin saya tahu apakah keadaan yang sebenarnya di negeri Johor, sebab kita tengok data-data yang diumumkan oleh KKM setiap hari memang banyak kes yang tanpa bergejala, lebih kurang 50%. So, saya ingin tahu apakah keadaan yang sebenarnya di negeri Johor.

Dan yang kedua, apakah kadar peratusan positivity bagi negeri Johor untuk COVID-19 ini. Kita tak tahu sehingga kini, kita tak ada maklumat, apakah kadar positivity di negeri Johor, berapakah ujian saringan sebenarnya dijalankan, telah dijalankan di negeri Johor, kita pun tak ada maklumat. Kita ada maklumat daripada kerajaan persekutuan tapi negeri Johor kita tak ada. Maka, satu lagi soalan, memandangkan wabak COVID-19 tidak akan berakhir dalam masa terdekat ini, saya ingin tahu apakah matlamat utama sebenarnya kerajaan negeri Johor yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha memerangi COVID-19 sehingga akhir tahun ini? Dalam berapa bulan ini, apakah matlamat sebenarnya kerajaan negeri Johor untuk memerangi COVID-19, adakah kita dapat menurunkan jumlah kes-kes di negeri Johor? Separuh, 50% atau macam mana? Kita mesti ada satu matlamat, kita tidak boleh tak ada hala tuju dalam kita memerangi COVID-19 ini. So, ingin saya tahu, apakah sebenarnya objektif ini.

Speaker

Masa dah tamat Yang Berhormat.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Kalau ada daripada pihak kerajaan.

Speaker

Masa dah tamat Yang Berhormat.

Tuan Tan Chen ChoonDAP · PHJementah

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan apa ni ucapan saya dalam perbahasan ini. Sekian terima kasih.

Speaker

Ya terima kasih kepada Jementah. Seterusnya, saya persilakan Skudai.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Terima kasih Tuan Speaker. Skudai ingin merakamkan setinggi-tinggi, ucapan setinggi-tinggi junjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor atas Titah Ucapan Tuanku pada 12 Ogos yang lalu sempena Perasmian Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Pertama sekali Skudai ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai barisan hadapan atas usaha dan pengorbanan mereka dalam memerangi pandemik COVID-19 sejak tercetusnya pandemik ini di negara kita.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam keadaan penularan pandemik COVID-19 yang semakin serius sehingga satu tahap Speaker, kerajaan perlu menyusun semula strategi dan menggembleng tenaga untuk memerangi pandemik COVID ini bagi mencapai keputusan yang optimum. Selama ini kita melihat barisan hadapan bertungkus lumus untuk memerangi dan mencegah penularan COVID-19. Kerja-kerja pencegahan seolah-olah hanya terletak

atas bahu sesetengah jabatan atau agensi sahaja. Sebagai contoh, Jabatan Kesihatan, BOMBA, Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan sebagainya sehingga boleh dikatakan setengah jabatan ini telah pun overloaded, dengan izin. Sementara sesetengah daripada tugas-tugas atau tanggungjawab jabatan-jabatan ini boleh dipikul bersama oleh agensi atau pihak yang lain.

Sebagai contoh, Jabatan Kesihatan terpaksa menjalankan ujian saringan, penguatkuasaan ke atas aktiviti kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit, serta pemberian vaksin dan pengendalian program vaksinasi. Bagaimanakah kita boleh melibatkan jabatan atau agensi atau pihak yang lain sebahagian daripada tugas-tugas ini? Adakah tugas-tugas seperti sanitasi tempat awam boleh dijalankan oleh pihak lain selain daripada BOMBA, adakah suntikan vaksin, ujian saringan, pemantauan aktiviti kuarantin, ia wajib dijalankan oleh pegawai KKM tetapi tidak boleh dilaksanakan pihak yang lain? Soal sekarang, bukannya adakah kita boleh, tetapi bagaimanakah kita boleh melaksanakan ini? Jika kita mengikut kerangka sedia ada, sudah tentu adanya kekangan atau limitasi dari segi peraturan ataupun garis panduan yang diamalkan sekarang.

Yang Berhormat Tuan Speaker, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Cabaran di hadapan kita sekarang adalah bagaimana kita meminda peraturan ataupun garis panduan yang kita pakai sekarang, guna pakai sekarang bagi mengoptimumkan usaha pencegahan COVID-19. Sebagai contoh Tuan Speaker, bagaimana kita boleh melibatkan penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam kerja-kerja pengesanan kontak rapat dan pemantauan aktiviti kuarantin terutamanya kuarantin di rumah? Bagaimanakah kita boleh melibatkan para jururawat ataupun doktor atau pengamal perubatan terlatih yang telah bersara dalam program pemberian vaksin supaya kita boleh mempercepatkan Program Vaksinasi Nasional dan juga pada masa yang sama mereka juga boleh membantu dalam menjalankan ujian saringan? Contoh lain, bagaimanakah kita boleh melatih lebih ramai anggota sukarelawan bagi menjalankan sanitasi di tempat-tempat berisiko tinggi bagi mengurangkan beban yang terletak atas pasukan BOMBA dan menjalankan lebih banyak sanitasi bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19. Semuanya di atasnya nampak mustahil tapi saya yakin di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Dengan adanya pemindaan kepada peraturan, latihan profesional yang teratur dan juga garis panduan yang jelas dan teliti kepada jabatan lain ataupun pihak lain yang mempunyai peranan, tugas atau tanggungjawab yang hampir serupa, semua ni boleh dilaksanakan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, find, test, trace, isolate and support with vaccine, dengan izin, FTTIS+V Strategy ataupun kenal pasti (find), ujian (test), kesan (trace), kuarantin (isolate), sokongan dengan vaksin iaitu support with vaccine merupakan 6 langkah penting dalam pencegahan penularan COVID-19. Bagaimanapun, kita dapati FTTIS tidak diberikan penekanan yang sepatutnya walaupun ini sebenarnya boleh dijalankan dengan memanfaatkan teknologi maklumat. Padahal kita sedia maklum bahawa semua rakyat Malaysia diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera, tetapi penggunaannya masih belum dioptimumkan. Maka, bukanlah mustahil sebab untuk kita mengesan kontak rapat dan mengenal pasti kluster dengan efektif, pada masa yang sama kita memutuskan rantaian penularan penyakit ini. Berdasarkan data daripada KKM, kadar positif COVID-19 telah lebih daripada 5% yang ditetapkan oleh WHO. Namun, jumlah ujian saringan yang rendah mungkin antara sebabnya yang menyebabkan kadar positif selalu pada tahap yang tinggi iaitu lebih daripada 10%. Tambahan pula, kadar transmisi varian Delta yang tinggi juga memperingatkan kita tentang perlunya mempertingkatkan lagi strategi FTTIS+V ini bagi menurunkan kadar kebolehjangkitan COVID-19.

Di samping itu, saya juga menerima aduan daripada pesakit COVID bahawa mereka tidak dapat memasuki pusat kuarantin dan rawatan COVID yang telah pun penuh, dan justeru memerlukan tempat kuarantin bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada ahli keluarga. Saya memohon supaya kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan lebih banyak hotel dan jika boleh mungkin rumah tumpangan ataupun bajet hotel dan mengeluarkan senarai hotel

yang bekerjasama dengan kerajaan supaya kontak rapat seperti kategori A, B dan C boleh dibenarkan dikuarantin di hotel dengan menyediakan bantuan perubatan kecemasan, perubatan ....

Speaker

1 minit lagi.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Bagi menjayakan elemen kuarantin.

Speaker

1 minit lagi.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Minta sikit lagi. Ke mana dah, bagi menjayakan elemen kuarantin dalam strategi FTTIS ini dan juga membantu pengusaha hotel ini untuk mengharungi cabaran dalam zaman COVID.

Yang Berhormat Tuan Speaker, hampir semua jabatan ataupun agensi kerajaan mengamalkan konsep Bekerja Dari Rumah (Work From Home) semasa pelaksanaan PKP ini. Kaedah ini terpaksa dilaksanakan untuk mengurangkan risiko penularan pandemik ini. Namun, apakah strategi atau KPI kerajaan dan juga PBT untuk membantu dan memantau pegawai-pegawai supaya mereka dapat memastikan keberkesanan pentadbiran di jalankan dengan lancar dan efektif. Saya terima maklum balas daripada orang awam bahawa urusan mereka dengan jabatan-jabatan dan pihak berkuasa tergendala untuk tempoh yang lama. Kerana pegawai yang bertanggungjawab terpaksa bekerja dari rumah dan mereka tidak dapat menyusul perkembangan terbaharu urusan mereka dengan jabatan. Saya berharap kerajaan dan juga PBT dapat merangka satu mekanisme penyusuran yang berkesan bagi membolehkan orang awam, boleh berhubung terus dengan pegawai yang bertanggungjawab untuk urusan-urusan mereka itu supaya komunikasi yang lebih berkesan dan juga kerja susulan boleh dijalankan apabila pengamalan Bekerja Dari Rumah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, sekarang merupakan...

Speaker

Masa dah tamat.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Sekarang merupakan tempoh menyediakan belanjawan untuk tahun hadapan tahun 2022. Saya ingin menarik perhatian kerajaan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan supaya teliti merangka belanjawan bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan itu membawa manfaat kepada rakyat. Saya bagi satu contoh, pada bulan Jun yang lalu, pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah menjalankan penurapan semula di Jalan Sejahtera 16, Taman Desa Skudai. Ini baik, kerana penyelenggaraan berkala perlu untuk memastikan jalan kita dalam keadaan yang baik. Bagaimana pun, kebetulan beberapa hari sebelum penurapan itu, saya lalu di jalan tersebut mendapati bahawa jalan itu cantik, rata, tiada lubang, padahal lebih baik daripada banyak lagi jalan-jalan yang lain yang perlukan tindakan segera daripada pihak Majlis. Jadi, apakah standard? Apakah pertimbangan yang membuatkan Majlis menurap jalan yang rata cantik ini tetapi tiada sebarang kerja-kerja penurapan dijalankan ataupun kerja pembaikan dijalankan kepada jalan-jalan yang teruk. Jadi, ini menunjukkan bahawa ada kelemahan dari segi apabila merangka belanjawan itu. Jadi, saya harap kerajaan negeri dan juga PBT mengurus bajet dengan bijak terutamanya memberi fokus dalam projek-projek yang memberikan manfaat kepada rakyat dalam kehidupan seharian.

Speaker

Simpulkan Yang Berhormat.

Tuan Tan Hong PinDAP · PHSkudai

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya berasa syukur dalam pergolakan politik yang tidak menentu pada peringkat persekutuan, Persidangan kali ini dapat berlangsung dengan lancar dan tenang seperti yang dikatakan oleh Sri Medan tadi, kita bukan lawan, kita saling melengkapkan, kita saling membantu, berkhidmat untuk rakyat. Marilah sama-sama kita berhentikan kerja-kerja politik yang tidak membawa manfaat

kepada rakyat. Marilah sama-sama kita tunaikan tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat dan buatlah yang terbaik untuk seluruh bangsa Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih, Skudai. Seterusnya saya persilakan Penawar. Jemput Penawar.

Bismillahirahmannirahim. Assalamualaikum warahmataullahi wabarakatuh. Salam muafakat bangsa Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor, EXCO-EXCO serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk berbahas membawa suara rakyat DUN Penawar. Saya memanjatkan ke hadratnya bersama ingatan yang Maha Esa, maka dengan itu kita dapat bersama di Dewan yang mulia ini untuk membincang dan mencari permuafakatan dalam urusan-urusan berkaitan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Johor. Terutama dalam keadaan hari ini yang amat menggerunkan. Takut sangat, walaupun dah lengkap dua dos tapi masih boleh lagi diserangi oleh penyakit COVID ini.

Penawar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sempena Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor.

Di kesempatan ini, Penawar merafakkan sembah menjunjung kasih dan mengucapkan selamat keputerian kepada Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, patik dan seluruh rakyat Penawar mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia tuanku dan sentiasa berada di bawah lindungan rahmat keberkatan Allah SWT serta dianugerahkan kesihatan yang baik kepada Tuanku serta keseluruhan kerabat Di Raja. Patik mewakili rakyat Penawar merafak sembah dan menjunjung kasih juga kepada Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Johor yang mencetuskan idea bagi membantu menyegerakan pendaftaran suntikan vaksin kepada Johor melalui Southern Volunteers.

Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-9, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di doakan semoga Yang Amat Berhormat akan dapat mentadbir negara ini dengan lebih maju dan sentiasa mendapat keredaan Allah SWT. Penawar ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri yang ke-8 di atas segala khidmat bakti semasa menerajui pemerintahan negara. Penawar juga merakamkan sekalung penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri atas usaha berterusan memerangi wabak ini.

Penawar mulai dengan ingatan Allah SWT yang bermaksud, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan menyeru kamu, menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan yang adil.

Yang Berhormat Speaker, kita telah melalui hari-hari yang di luar normal biasa hampir 2 tahun. Laporan pertama yang diterima oleh Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan adalah pada 23 Januari 2020 semasa negara ini dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan. Pada 10 Mac 2020, Allah telah memberikan petunjuk kepada negara kita dengan memberikan pemerintahan ini kepada kerajaan Perikatan Nasional. 10 hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ke-8, jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 129 kes dan kadar kes meningkat sehingga Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada ketika itu mengumumkan PKP selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Saya menceritakan kronologi ini adalah kerana untuk mengingatkan Yang Berhormat DUN untuk sama-sama kita menggembleng segala usaha bersama untuk membantu kerajaan yang akan memerangi wabak pembunuh ini tidak kira parti mana yang kita wakili. Kerajaan

Perikatan Nasional, yang amat bertanggungjawab bagi menentukan rakyat Johor sentiasa terbela dan terpelihara. Maka kita ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah memberikan peruntukan tambahan bantuan COVID-19 kepada semua ADUN tidak kira daripada parti mana yang penting bagi kerajaan Perikatan Nasional rakyat mesti didahulukan. Orang seberang, jangan lupa ucap terima kasih kepada Menteri Besar kita. Dengan peruntukan itu jelas nampak ADUN-ADUN bergaya turun ke lapangan, bantu rakyat kawasan masing-masing.

Dalam keadaan luar jangkaan dan membimbangkan kini saya amat terkesan dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, di mana baginda Tuanku melahirkan rasa terkilannya terhadap kadar vaksin di negeri Johor yang perlahan. Saya mengamati semula kenyataan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Yang Berhormat Menteri pernah menyatakan bahawa kira-kira 90% penduduk negeri Johor dijangka melengkapi vaksin mereka pada bulan September ini, susulan daripada penambahan jumlah vaksin yang akan dihantar ke negeri Johor.

Apa yang membimbangkan sehingga kini hanya 29.3% sahaja dewasa yang mendapat 2 dos lengkap suntikan vaksin. Manakala tidak lebih 50% rakyat negeri Johor yang telah menerima dos vaksin pertama. Dengan jumlah peratus penerimaan vaksin lengkap dan hanya menerima dos yang pertama di bawah 50% beberapa perkara harus dihalusi. Penawar menyeru agar kerajaan persekutuan mempercepatkan proses penghantaran vaksin ke negeri Harimau Selatan yang masih rendah di bawah 50% bagi kedua-dua kategori. Kita semua ambil maklum bahawa bekalan vaksin ini perlu melalui proses prosedur kerajaan persekutuan sebelum diagihkan kepada kerajaan negeri. Harapan Penawar supaya Yang Berhormat Menteri mesti peka dan memberi keutamaan kepada negeri yang mempunyai kadar jangkitan tinggi. Jelaslah di sini bahawa sekiranya negeri Johor ingin mencapai rekod sifar jangkitan kes, kita perlulah mencapai target yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan kadar kejangkitan dapat dibendung.

Yang Berhormat Speaker, berkenaan pelaksanaan program vaksinasi yang terpakai di seluruh negeri Johor, apa yang cuba Penawar tekankan pada hari ini adalah outreach program vaksinasi ini. Outreach program ini perlu menyeluruh dan dicadangkan penglibatan semua pihak kerajaan dan swasta. Tidak ada yang tertinggal termasuk juga golongan minoriti iaitu masyarakat yang tinggal di kampung kawasan pedalaman, kampung Orang Asli. Apa yang menggembirakan program ini mendapat sambutan yang sangat menggalak daripada masyarakat.

Bagi merealisasikan hasrat mempercepatkan proses vaksinasi Penawar suka mencadangkan Outreach Program Vaksinasi Negeri Johor atau Jelajah Vaksin Menemui Anda bagi mempercepatkan imuniti berkelompok iaitu memperbanyakkan pusat-pusat PPV di kawasan-kawasan khasnya di setiap FELDA. Kita jangan ambil mengikut gugusan, gugusan ini meliputi tiga FELDA jadi bila pencapaian itu akan lambat. Kalau kita pergi ke seluruh setiap FELDA insya-Allah masyarakat FELDA akan dapat menerima vaksin ini dengan lebih cepat lagi. Memperbanyakkan jelajah vaksin ke kampung-kampung ladang dan memasuki secara menyeluruh semua kawasan-kawasan dalam negeri Johor. Rakyat dah tak sabar nak menerima vaksin. Dalam masa yang sama tentukan penguasaan Internet itu laju di kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.

Mobilisasi Vaksin Team ataupun MOVAC pengupayaan sukarelawan negeri Johor melalui SV dan lain-lain NGO dan klinik hospital swasta dengan pemantauan pusat kesihatan daerah di kawasan kampung dan pedalaman. Mensyaratkan wajib kepada pengusaha-pengusaha kilang dan swasta memberikan suntikan vaksin kepada pekerja-pekerja, kepada pekerja-pekerja mereka di bawah inisiatif SAVS suntikan vaksin swasta melalui Bio-tech. Tahniah kepada kerajaan yang telah melantik Bio-tech menguruskan vaksin sektor kilang dan sebagainya.

Di kesempatan ini Penawar ingin merakamkan terima kasih kepada KKM negeri Johor dan khasnya Pegawai Daerah dan Kesihatan Kota Tinggi yang telah memperbanyakkan program outreach dengan secara yang amat tersasar. Alhamdulillah, dengan kerjasama KKM, Jabatan Perpaduan, Pejabat Daerah, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat setempat melalui program jelajah outreach ini telah dapat mevaksinkan seluruh penduduk kampung secara serentak.

Speaker

1 minit lagi Yang Berhormat.

Itu yang berebut nak bercakap Yang Berhormat Speaker. Melalui program ini Penawar telah dapat membantu hampir keseluruhan kampung-kampung yang dimasuki melalui outreach lebih daripada 95% penduduk telah dapat vaksinkan di kampung-kampung yang berkenaan.

Bagaimana dicantas nafsu serakah, SOP disanggah disiplin ditempelak, kerana sikap tidak berubah COVID-19 meningkat dan terus merebak.

Seperkara lagi berkenaan bantuan. Bukan niat Penawar menyalahkan mana-mana pihak. Terima kasih kepada kerajaan negeri, persekutuan, NGO, orang perseorangan yang telah bermurah hati memberi pelbagai bantuan khasnya pesakit COVID-19, keluarga yang di kuarantin, rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya. Pelaksanaan ini tapi masih lagi perlu diperbaiki. Penawar ingin mencadangkan supaya permuafakatan dalam agihan ini bagi membolehkan rakyat keseluruhan dapat menerima dan menikmati masih ada lagi pertindihan dalam pembahagian bantuan ini. Ada orang dapat satu, ada yang dapat dua, malahan ada juga yang dapat lebih daripada lima. Penawar mencadangkan supaya setiap agensi kerajaan diberikan kawasan penjagaan umpamanya peniaga haruslah ditadbirkan oleh PBT, FELDA berikan kuasa kepada ADUN untuk mengagihkan, kampung Orang Asli JAKOA yang akan bertanggungjawab, kampung tradisi, Pejabat Daerah harus bertanggungjawab, taman kawasan perumahan berilah peluang pada Ahli Parlimen untuk bertanggungjawab.

Tuan Speaker dan sidang Dewan sekalian, menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menyeru agar Johor dapat menarik lebih ramai pelabur luar agar banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan keperluan kerajaan negeri Johor untuk membuat dasar baru yang mesra pelabur. Saya merasakan ini perkara yang harus dititikberatkan di dalam Dewan ini. Hauslah Tuan Speaker, kejap ya minum.

Speaker

Masanya dah tamat Yang Berhormat. Simpulkan Yang Berhormat. Simpulkan.

Simpulkan. Ok, ok, saya tinggal ekonomi.

Tuan Speaker, Penawar ingin mencadangkan mekanisme lain yang pada hemat Penawar boleh diguna pakai dalam membangunkan lagi pelaburan negeri Johor akan tidak terus menguncup. Mekanisme tersebut adalah memperkasakan semula semua perancangan yang telah dirancang dalam Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2030.

Penawar percaya jika sekiranya kita terus berusaha meningkatkan kadar suntikan vaksin maka secara langsung Pelan Pembangunan Mampan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai akhir kalam, izinkan saya memohon untuk kita bersama-sama membantu tanpa diskriminasi politik malah menjadikan kesihatan rakyat perkara utama kita. Hashtag Politik Bahagia.

Cantik tersemat si bunga raya, cantik suntikan di dara sunti, politik bahagia kasih rakyatnya,

ADUN Johor sentiasa harmoni.

Letak mempelam di raga biru, di bawa dara ke hujung kota, siang malam sibuk selalu, ADUN Johor tiada sengketa.

Terima kasih kepada orang belah sana kerana sentiasa memberikan kerjasama yang baik, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana terus memikirkan kami ADUN-ADUN untuk berkhidmat dengan lebih baik dan lebih lancar di kawasan kami. Terima kasih frontliners yang banyak berkorban demi negara tercinta. Dengan itu, Penawar mematuhi arahan Tuan Speaker bahawa masa 10 minit ini kalau digunakan pasti berguna. Jadi dengan itu Penawar dengan wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pada Allah kita berserah.

Speaker

Terima kasih Penawar. Tudung dah cantik dah tu, warna oren. Ok, jemput seterusnya Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang untuk membahaskan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi bagi Penggal Persidangan Keempat.

Ucapan saya termasuk cadangan terhadap Dewan, ekonomi, vaksinasi, pandemik reform. Dewan Negeri adalah platform untuk suara rakyat telah ditutup sejak Disember tahun lepas. Dewan perlu dibuka kerana Dewan Undangan yang bebas adalah check and balance kepada kerajaan. Bebas bersuara untuk rakyat dan juga memperolehi informasi perkembangan negeri melalui soalan-soalan Dewan. Sekarang kes COVID terlalu banyak tetapi vaksin terlalu sikit. Rakyat keliru tidak mengetahui apa berlaku. Mana perkara kita YB pun tak tahu. Bergantung kepada agensi kerajaan untuk maklumat, untuk kita membantu. Kita sebagai Wakil Rakyat memberi pendapat, menulis surat, Whatsapp. Kalau pegawai kerajaan tidak menjawab, kami tersepit. Sekiranya Dewan dibuka, masalah ini tidak berlaku. Apakah remedy? Pandemik akan berterusan, maka kita perlu meminda Peraturan Mesyuarat supaya Persidangan secara hibrid dapat diaturkan pada masa depan. Kepentingan pindaan ini telah terbukti dalam sidang Parlimen yang terhenti dan juga terbukti prinsipal melalui Mesyuarat Khas COVID-19 YB-YB Johor secara online yang diadakan bawah titah Tuanku pada 27 Mei 2021. Mesyuarat sebegini atau satu COVID-19 Select Committee harus dipanggil atau ditubuhkan lebih kerap demi kepentingan rakyat dan cepat respons.

Cadangan ekonomi. Situasi pandemik negeri Johor amat kritikal. Ekonomi lagi kritikal. Banyak perniagaan gulung tikar, ramai rakyat hilang kerja, ramai keluarga menangis. Demi usaha pemulihan ekonomi negeri Johor, Mengkibol mencadang tindakan-tindakan berikut :

1. Polisi. Semua ADUN diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam :

a) Pasukan CITF negeri dan Pasukan CITF Daerah. b) Majlis Tindakan Ekonomi Negeri atau Ibrahim Johor Economic Council (IJEC) c) Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri d) Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya 57 Ahli Dewan Negeri termasuk Tuan Speaker dapat bekerjasama memulihkan ekonomi tanpa mengira perbezaan latar belakang politik.

2. Perniagaan. Pihak Berkuasa Tempatan harus prihatin dan memudahkan urusan perniagaan dan kurangkan beban peniaga kecil dengan :

a) Pengecualian lesen perniagaan untuk tahun ini dan tahun depan. Kita semua terima penyata kewangan PBT. Mengkibol sudah menyemak semua kedudukan dan cash in hand untuk semua PBT. Kalau kita tengok contohnya Kluang. Kluang

ada hampir RM87 juta cash in hand. Kalau kita tengok kutipan lesen, contohnya Kluang, kutipan lesen tahun 2019 hampir RM8 juta about 10%. Bila semua PBT sebenarnya ada kewangan yang kukuh untuk berikan pengecualian lesen perniagaan. b) Rebet cukai tanah 50% untuk tahun ini dan tahun depan. c) Menubuhkan satu panel penasihat SOP yang terdiri daripada wakil industri dan perniagaan sebagai stake holder demi menyumbang pandangan yang praktikal. d) Membekukan penguatkuasaan Akta 446 iaitu Penginapan Pekerja semasa menunggu penggubalan garis panduan yang baru. e) Membatalkan semua kompaun PBT terhadap perniagaan yang sudah amat susah.

3. Pertanian. Demi memulihkan ekonomi dan mengurangkan pengangguran, tanah terbiar kerajaan Johor adalah seluas 18,000 ekar. Harus dibuka untuk permohonan dengan syarat :

a) Melibatkan orang muda. b) Usaha sendiri c) Penggunaan teknologi moden

Cadangan vaksinasi Yang Berhormat Speaker, pada 4 Ogos 2021, Tuanku bertitah menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi negeri Johor yang rendah. Johor merupakan salah satu negeri yang paling lambat dalam vaksinasi. Saya minta penjelasan pihak kerajaan negeri, kenapa negeri Johor ketinggalan begitu banyak?. Setakat 20 Ogos 2021 hanya 34.2% penduduk dewasa Johor selesai terima dua dos vaksin. Jauh lagi untuk mencapai 50%. Ini telah mengakibatkan negeri Johor masih ketinggalan dalam Fasa 1 PPN dan mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerugian ekonomi yang begitu besar. Dalam satu minggu yang lepas, 262 orang mati di Johor.

Di bawah Program JBIP yang baru dilancarkan oleh kerajaan Johor untuk industri bekerjasama dengan J-Biotech dan KPJ, dua dos suntikan bayarannya RM350.00. Kenapa kerajaan tidak membayar dan menggunakan kos, menanggung kos vaksin ini?. Sedangkan kita mempunyai dana simpanan yang surplus dan lebih daripada RM3 bilion. Mana vaksin beli dengan Singapore? Singapore telah derma 100,000 dos kepada Brunei, diumumkan pada semalam. Kerugian ekonomi adalah jauh lebih tinggi daripada kos pembelian vaksin.

Tuan Speaker, demi mempercepatkan kadar vaksinasi negeri Johor, tindakan lonjakan vaksinasi harus diambil dengan segera.

Yang pertama, memberi vaksin dengan dana simpanan kerajaan negeri Johor yang melebihi RM3 bilion untuk program JBIP sebanyak RM350.00 dan mana-mana pihak swasta yang ingin membantu proses vaksinasi. Ini kerana swasta beli daripada Pharmaniaga adalah jauh lebih tinggi. Kalau kita beli untuk mereka harga jauh lebih rendah. Kononnya satu dos Pharmaniaga adalah RM70.00 dan kerajaan pusat telah meluluskan untuk menjual 14 juta dos kepada pihak swasta. Kalau 14 juta x RM70.00 untung, this is profit. Sebanyak hampir RM1 bilion profit Pharmaniaga.

Yang kedua, pada 7 Mei 2021, Mengkibol sudah mencadangkan supaya semua klinik kesihatan juga memberi vaksin. Kita mempunyai 2,838 klinik kesihatan di seluruh Malaysia.

Yang ketiga, meningkatkan bekalan vaksin kepada semua PPV/Private Integration dan membenarkan pusat tersebut beroperasi sampai waktu malam. Mereka nak bekerja sampai waktu malam tetapi tak ada bekalan. Kerajaan tidak approve.

Yang keempat, mendirikan lebih PPV di bandar-bandar besar dan kawasan perindustrian negeri Johor.

Dan yang kelima, meluluskan permohonan-permohonan PPV swasta yang begitu banyak dengan bekalan vaksin yang mencukupi dan menanggung kos utiliti. Sini saya ada satu surat permohonan PPV baru dan saya akan hantar ke Yang Amat Berhormat Menteri Besar selepas bersidang.

Speaker

Satu minit lagi Yang Berhormat.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Tuan Speaker dan Ahli Dewan sekalian, bagi bulan Julai ini, daerah Kluang merupakan daerah ketiga tinggi jumlah kes baru itu 12% tetapi kita cuma terima 7.56% dan tidak sampai 7% warga Kluang terima dua dos vaksin. Ini tidak setara dengan dua kriteria yang diumumkan oleh YB Khairy iaitu kadar kes positif tinggi dan kadar vaksinasi rendah akan diagihkan vaksin yang lebih.

Cadangan pandemik, semua ADUN harus dijemput dalam mesyuarat Pasukan CITF sama ada peringkat negeri atau daerah secara automatik sebagai satu cara penyelesaian. Sebab ramai ADUN yang berpengalaman dan exposure yang luas, kita dapat menyumbang pandangan yang bernas, efektif, konstruktif.

Tuan Speaker, kelangsungan pencegahan wabak, kelangsungan ekonomi sama penting. Untuk mencapai kedua-dua objektif ini, kita harus :

1. Sistem person in charge untuk kawalan wabak termasuk agensi kerajaan, termasuk kilang.

2. Kita harus melantik penyelaras yang berkesan di setiap daerah sebab bukan semua Pegawai Kesihatan berpengalaman, berupaya.

3. Guna big data untuk analisa kaedah penularan virus.

4. Pergerakan point to point untuk pekerja asing supaya tidak menyebar ke komuniti.

5. Memperbetulkan polisi yang salah di mana tidak menguji kontak rapat yang tanpa gejala kerana sekarang ramai silent carrier.

6. Tambahkan makmal PCR COVID. Setakat ini hanya dua makmal kesihatan awam di Johor.

7. Menubuhkan PKRC di semua daerah, tambah yang baru jika sudah melebihi kapasiti.

Cadangan reform. Pertama, usul undi tidak percaya harus diberi keutamaan dalam Aturan Urusan Mesyuarat jika ada. Kedua, Enakmen Kebebasan Maklumat dan Enakmen Anti Hopping Law harus digubal dan diluluskan oleh Dewan untuk kepentingan awam. Oleh demikian dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan, sekiranya ada usul tidak, undi tidak percaya harus diutamakan dalam senarai. Didahulukan bacaan usul, dibahas undi. Di Selangor dan Pulau Pinang, gerak sudah menggubalkan Enakmen Kebebasan Maklumat dan sudah diwartakan pada tahun 2011, 2012.

Speaker

Masa dah tamat Yang Berhormat, simpulkan.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Akhir sekali, kalau kita tengok penyata kewangan YPJ, nota 47A. YPJ spend RM20 juta untuk beli satu subsidiari yang subsidiary net asset dia RM9.8 million sahaja. Dan, revenue subsidiary RM912,000.00 dengan kerugian tahun itu RM2.43 juta. Apakah sebab, apakah information dan justification? Mana yang tidak dapat dalam penyata kewangan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih daripada Mengkibol. Seterusnya saya persilakan Bekok.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Salam sejahtera dan terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberi peluang untuk mengambil bahagian berbahas usul menjunjung kasih atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bekok mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pemberian sumbangan tambahan. Terima kasih. Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk menghadapi wabak ini, golongan risiko tinggi mesti divaksinasi terlebih dahulu seperti pekerja kilang dan juga penduduk-penduduk yang berkepadatan tinggi. Satu golongan iaitu pekerja asing berisiko tinggi perlu divaksin awal tapi di Johor saya dengar belum mula lagi. Di Selangor pekerja asing sedang dapat dos yang kedua sekarang. Vaksinasi adalah nadi dan kunci untuk mengawal wabak ini. Pekerja asing dengan izin dan tanpa izin mesti dikenal pasti untuk vaksin. Vaksinasi di Johor hanya lebih kurang 27% dapat dua dos. Kadar vaksinasi telah pun ditingkatkan sekarang tetapi pembangkitan ialah lambat sedikit. Harap tidak lagi dilembutkan, mesti dicepatkan lagi.

Yang Berhormat Tuan Speaker, lock down atau MCO telah menyebabkan rakyat mengalami banyak kerugian ekonomi. Hilang pekerjaan, tutup perniagaan khususnya PKS. Enam kali lock down dalam 18 bulan. Lock down berpanjangan tidak dapat menghapuskan virus ini hingga sekarang. Tempoh lock down ialah untuk aturkan atau sediakan SOP-SOP yang kena ikut bila menjalankan perniagaan atau pengurusan. Lock down berpanjangan seperti di Malaysia satu langkah yang tidak patut, tidak tepat dan membawa akibat yang lebih teruk. Harap rakyat boleh ikut SOP-SOP dan kita boleh balik ke kehidupan normal. Pekerja-pekerja yang kerja dengan rapat atau jarak dekat adalah golongan berisiko tinggi. Pelanggan di kedai makanan, pejabat mesti ikut SOP.

Speaker

Azan Yang Berhormat.

(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)

Tetapi.

Speaker

Yang Berhormat sambung ada 7 minit lagi.

Terima kasih. Yang Berhormat Tuan Speaker, pihak kerajaan mesti galakkan SOP-SOP tetapi penutupan ekonomi, itu yang satu langkah yang tidak begitu tepat. Banyak negara di barat tidak tutup ekonomi, tidak ada lock down tetapi mereka tekan untuk mengikutkan SOP Yang Berhormat Tuan Speaker, lock down akan meruntuhkan ekonomi. Semua sektor adalah penting. Perniagaan menjadi pembekal kepada sektor-sektor utama dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan. Tiada lagi sektor tiada penting kerana semua sektor bergantung kepada satu sama lain. Kerajaan mesti ada rundingan dengan industri, perusahaan-perusahaan kecil, PKS adalah tunjang ekonomi negara. 38% KDN ialah daripada PKS. 66% pekerjaan daripada PKS. Jadi, sangat penting tapi sekarang sudah begitu lama lock down saya rasa golongan ini PKS sangat-sangat susah dan berapa syarikat boleh mula balik. Itu satu persoalan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita mesti ikut pendekatan bersasaran bukan pendekatan keseluruhan. Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan pada oleh Perdana Menteri pada 15 Jun bahawa sekatan semasa hanya akan dikurangkan apabila kes seharian COVID menurun ke 4,000 tetapi kes pula naik ke lebih daripada 20,000. Ini sudah jelas bahawa strategi MCO bagi mengurangkan kes COVID tidak lagi berfungsi walaupun sudah sekian lama MCO diteruskan namun semakin banyak masalah rakyat yang wujud dan semakin besar kerugian ekonomi yang dialami. Kita perlu ada peralihan yang segera dari strategi MCO untuk merawat COVID seperti penyakit berjangkitan yang lain seperti yang lain dulu. Dulu kita ada banyak lagi wabak-wabak tapi wabak itu masih ada tetapi banyak

dikurangkan, kita tidak boleh hapuskan. Jadi, kita kena ikut satu pendekatan bahawa kita hidup bersama dengan wabak tetapi kurangkan wabak bukan bersasaran untuk hapuskan. Itu tidak boleh jadi. Yang Berhormat Tuan Speaker, ada satu pepatah no life without livelihood tidak boleh hidup tanpa rezeki. Jadi ekonomi sangat penting. Kita tidak boleh tutup berpanjangan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Internet. Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang digunakan untuk penggantian, pengajaran di kelas adalah salah satu kaedah yang paling selamat untuk menggunakan dalam masa MCO. Namun sebilangan pelajar menghadapi masalah untuk mengakses Internet. Ada juga banyak kawasan luar bandar tidak ada talian Internet. Seperti ini kawasan saya Bekok pun talian Internet sangat lemah. Ramai orang complaint. Bank pun complaint sebab tidak ada talian yang baik.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga membawa satu perkara ke perhatian Dewan ini iaitu kampung Orang Asli. Dulu EXCO pun datang bersama saya untuk melawat kampung Orang Asli. Kampung orang asli yang jauh ialah Kampung Selai dan Kampung Kemidah. Mereka tidak ada talian, mereka datang ke satu kampung di depan, Kampung Tambuk untuk menubuhkan khemah untuk pelajar murid-murid. Tetapi sekarang, ada juga kes COVID di Kampung Selai. Jadi, murid-murid di Kampung Kemidah enggan datang ke Kampung Tambuk untuk belajar. Jadi, ini masalah sekarang. Jadi, apa saya minta di sini ialah kita perlu tubuhkan telekom tower atau pun kabel untuk dapat talian Internet secepat mungkin. Itu yang saya mohon kepada kerajaan negeri untuk mempercepatkan perkara ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita mesti galakkan ujian sendiri. Kita tidak boleh tunggu kepada ujian oleh kerajaan. Jadi, kita perlu jual ataupun membenarkan farmasi-farmasi jualkan itu kit ujian yang sekarang sudah ada beberapa jenis di pasaran. Tetapi saya rasa belum digalakkan oleh pihak pemerintah untuk jualkan kit-kit ujian ini tapi kita mesti mempercepatkan. Galakkan syarikat-syarikat, pejabat-pejabat, kilang-kilang buat ujian sendiri. Ini yang sangat-sangat penting.

Yang Berhormat Tuan Speaker, pembukaan Tambak Johor Singapura. Ini sangat penting. Seperti yang diucapkan oleh ADUN-ADUN yang lain bahawa kita secepat mungkin mesti buka Tambak Johor – Singapura. Dan, saya juga minta kerajaan negeri Johor berusaha untuk membuka jalan Tambak ini. Ini sangat penting. Kerajaan negeri mesti buat apa sahajalah untuk memenangi keyakinan Singapura untuk buka tambak ini.

Speaker

Satu minit lagi Yang Berhormat.

Yang Berhormat Tuan Speaker, point yang akhir sekali ialah, kita perlu pelaburan. Pelaburan besar-besaran di negeri Johor. Baru-baru ada 2 pembuat vaksin yang dari Eropah datang ke kawasan ini tetapi mereka pergi ke Singapura untuk membuat, menubuhkan kilang. Kenapa negeri Johor tidak berjaya menarik mereka ke Johor. Kalau kita ada satu pembuat vaksin di Malaysia, sangat baik. Kita boleh dapat vaksin dengan cepat. Jadi, kenapa IRDA tidak berjaya menarik mereka ke Johor dan tidak pergi ke Singapura. Harap mereka boleh jawab.

Baru-baru banyak syarikat daripada China keluar dari China pergi ke negara-negara lain. Berapa daripada syarikat-syarikat ini. Adakah kita menarik di Johor. Harap kita boleh dapat satu jawapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, itulah point-point saya. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih daripada Bekok. Seterusnya saya persilakan Semerah.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, terutamanya patik merafak sembah menjunjung kasih setinggi-tinggi tahniah diatas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Mencemar duli merasmikan

sidang Dewan Negeri Johor bagi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-14 pada 12 Ogos 2021.

Pertama, Semerah mengucapkan penghargaan kepada barisan hadapan yang terus berjuang tanpa penat lelah walaupun sudah hampir dua tahun negara kita diselubungi dengan pandemik COVID-19. Ucapan terima kasih Semerah juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah menyalurkan peruntukan tambahan kepada semua Wakil Rakyat bagi membolehkan Wakil Rakyat menyalurkan bantuan kepada seluruh bangsa Johor.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam usaha kita berperang dengan wabak COVID-19, kita telah diberitahu bahawa pemberian vaksin merupakan senjata utama dalam memerangi penyakit ini. Alhamdulillah, dengan bertambahnya jumlah Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di setiap daerah, saya yakin kita akan mencapai imuniti kelompok tidak lama lagi. Contohnya di daerah Batu Pahat, kita mempunyai PPV Awam di Dewan Jubli Intan Batu Pahat dan juga Dewan Orang Ramai Parit Raja yang mana di Batu Pahat 1,400 dos manakala di Parit Raja 1,200 dos. Di UTHM ataupun PPV Integrasi menyediakan 3,000 dos manakala di PPV Integrasi Yong Peng sebanyak 2,000 dos. Walau bagaimanapun, pada minggu-minggu sebelum ini kita lihat ada berlaku penutupan sementara beberapa pusat vaksin, pemberian vaksin seperti di Dewan Jubli, Batu Pahat. Jadi, saya di sini saya berharap isu berkenaan dengan kekurangan dos vaksin ini kita dapat selesaikan dengan segera. Kerana kita maklum Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar ada maklumkan bahawa pada bulan Ogos ini, kita akan terima 2 juta dos. Kapasiti menyuntik vaksin sebanyak 70,000 suntikan sehari, selain daripada ImmuPlan Johor bermula pada 29 Julai 2021 dan juga pada 6 Ogos Johor Vaccine Immunization Program telah bermula, jadi kita, Semerah ingin tahu berapakah jumlah dos yang telah kita terima setakat hari ini? Dan juga berapa yang telah diberikan kepada mereka-mereka yang memerlukan vaksin?

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada PPV saya juga berharap program outreach dapat diperbanyakkan kerana saya ucapkan terima kasih selepas saya berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar untuk menyuarakan tentang PPV ini di kawasan Parlimen Parit Sulong, di DUN Semerah kita telah dapat membuat program outreach minggu lepas dan juga insya-Allah pada minggu ini ada dua tempat lagi di MRSM untuk kita jalankan program outreach terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Selain daripada itu, saya juga mencadangkan berkenaan dengan penggunaan fasiliti kesihatan, contohnya klinik kesihatan ataupun klinik desa. Kita mempunyai banyak klinik desa di setiap daerah di mana kalau kita lihat penggunaan setiap klinik desa itu, kapasitinya sehari ialah lebih kurang 10, 15 dan kadang-kadang ada klinik desa ini hanya menerima 2% hingga 3 orang iaitu klinik ibu dan anak. Yang dulu memang pada zaman-zaman dulu klinik ibu dan anak ini memang popular. Tetapi sekarang semua orang muda semua ke bandar, maka klinik desa ini kekurangan mereka yang mendapat rawatan. Jadi saya mencadangkan kepada pihak kerajaan negeri, kita gunakan sepenuhnya klinik kesihatan yang ada ini bagi memastikan bahawa kita dapat mencapai imuniti kelompok. Sebab kita boleh gunakan kakitangan perubatan dan juga jururawat-jururawat daripada klinik-klinik kesihatan yang ada di setiap daerah.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin jelaskan di sini juga setakat 21 Ogos 2021, Johor hanya 36.1% yang mendapat dos kedua berbanding pada 20 hari bulan kita mendapat 35.1% maksudnya pencapaian kita sehari ialah 1.1% jadi saya harap, kerja-kerja kita untuk memastikan kita mencapai imuniti kelompok ini kita dapat dipercepatkan. Sebab kalau kita dapat bergerak 2% atau 3% sehari insya-Allah, awal bulan 9 kita dapat mencapai imuniti kelompok.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu kita tahu selain daripada CITF, Kesihatan juga memainkan peranan yang penting. Saya lihat sebelum ini Jabatan Kesihatan ada memaklumkan bahawa penambahan pakar psikiatri kerana kita tahu bahawa dalam musim pandemik ini pakar psikiatri di hospital amat diperlukan. Yang mana pada

jawapan EXCO Kesihatan pada pembentangan bajet yang lepas memaklumkan bahawa pada tahun 2021 terdapat perancangan pertambahan pakar bagi daerah Johor Bahru, Muar dan Segamat. Jadi saya hendak tahu apakah perkembangannya? Selain daripada itu, kita tahu bahawa negeri Johor telah mendapat beberapa peruntukan untuk kesihatan seperti fasiliti hospital, klinik kesihatan, klinik desa, klinik pergigian, kuarters dan juga makmal penyediaan wellness hub. So, jadi saya ingin mendapat makluman perkembangan terkini daripada Yang Berhormat EXCO Kesihatan apa yang telah kita terima dan apakah perkara-perkara yang di bawa ke hadapan?

Yang Berhormat Tuan Speaker, kita tahu kita menghadapi masalah ambulans yang kita tahu ambulans ini pun diuruskan oleh pihak Medivest juga tak silap saya, ada sebahagian. Begitu juga dengan fasiliti-fasiliti alat-alat di klinik kesihatan juga di baik pulih oleh pihak swasta. Saya ambil contoh Fundus Camera, fundus camera di Poliklinik Batu Pahat rosak, bila rosak dia suruh pergi ke Parit Raja dan juga Semerah, eh maaf, ke Senggarang. Rosak dah berapa bulan. Jadi, saya harap Yang Berhormat EXCO dapat ambil perhatian mengenai fasiliti-fasiliti kesihatan yang rosak di hospital-hospital dan juga di klinik-klinik kesihatan. Kerana kita faham mereka yang mendapat rawatan di hospital selepas itu mereka akan mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan atau poliklinik tetapi kalau poliklinik ataupun klinik kesihatan fasilitinya pun ada masalah, bagaimana kita hendak mencapai rakyat kita yang sihat. Jadi,

Speaker

Yang Berhormat, 1 minit Yang Berhormat.

10 minit tak cukup ini sebenarnya.

Speaker

Yang Berhormat, 1 minit Yang Berhormat.

Saya hendak mohon juga kepada Yang Berhormat EXCO Pertanian kita ada masalah dari segi, hari itu saya ada bincang dengan Datuk Samsul, Dato’ Speaker, maaf Datuk EXCO Pertanian, berkenaan jambatan MTB tapi, sebelum saya ke Dewan ini ada aduan menyatakan bahawa jambatan, ada sebahagian jambatan MTB ini perlu dinaik taraf kerana apa? Kalau dulu masa zaman Johor Barat, jambatan ini hanya digunakan oleh kenderaan-kenderaan kecil dan tiada rumah di kawasan tersebut. Tetapi saya ambil contoh di kawasan Sungai Kajang, dalam kawasan itu ada 66 buah rumah tetapi jambatan MTB, jambatan MTB yang asal bila ada berlaku kebakaran, jentera Bomba tidak boleh masuk. Jadi, saya harap Yang Berhormat EXCO dapat lihat mana-mana jambatan MTB ini di bawah seliaan JPS dapat dinaik taraf bagi memastikan bahawa tidak akan berlaku di mana kebakaran-kebakaran ini kita tidak dapat selamatkan.

Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu saya mohon juga kepada Yang Berhormat EXCO Luar Bandar berkenaan dengan lampu jalan kampung. Sebab sebelum ini maksimum satu kampung hanya boleh dapat 50 tiang lampu, ataupun lampu LED. Tetapi saya harap pihak KPLB melalui EXCO Luar Bandar dapat meningkatkan daripada 50 kepada 70 bagi memastikan banyak kawasan-kawasan di pedalaman dapat diterangi oleh cahaya lampu.

Yang Berhormat Tuan Speaker, itu sahaja daripada saya selain daripada itu saya hendak maklumkan juga kepada Yang Berhormat EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan dengan Jambatan Parit Dobi. Kerana Parit Dobi ini terletak dalam kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat dan ianya diselia oleh JPS. Kerana sekarang ini tembok, tembok Parit Dobi itu dah retak jadi bila air pasang besar dan juga hujan, air keluar melalui tembok yang retak. So, saya harap pihak JPS dan juga pihak Majlis Perbandaran melalui EXCO Kerajaan Tempatan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera dan begitu juga berkenaan dengan autogate di Batu Pahat ada 2 autogate, 1 di Parit Bakau Chondong dan 1 lagi di Parit Shahbandar yang mana autogate ini juga bila bermasalah maka bandar Batu Pahat dia akan mengalami banjir kilat seperti yang kita alami sebelum ini.

Dan, yang terakhir ialah saya harap pihak Yang Berhormat EXCO Pertanian dapat memanjangkan kepada pihak persekutuan berkenaan dengan mendalamkan Sungai Batu Pahat yang telah tohor. Kerana saya dimaklumkan yang terakhir kerja-kerja mengorek ataupun mendalamkan Sungai Batu Pahat ialah pada tahun 2008. Kalau kita dapat selesaikan masalah itu, maka kita dapat selesaikan masalah-masalah banjir yang berlaku di daerah Batu Pahat. Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih kepada Semerah ya, yang sebahagiannya boleh dibincang dalam Majlis Tindakan Daerah ya Yang Berhormat. Itu mungkin perlunya semua ADUN-ADUN ini berada dalam Majlis Tindakan Daerah. Jadi saya tamatkan Persidangan untuk hari ini sehingga ke saat ini dan Persidangan saya tangguhkan sehingga hari esok, Isnin 23 Ogos 2021 jam 9.30 pagi. Insya-Allah.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.30 petang.