Johor · 6 January 2022

4th session, 3rd meeting · not final · 36 turns · 4,596 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Tuan Speaker.

Speaker

Bismillahirahmannirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Berdoa dan berselawat.)

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita memulakan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-14.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana yang telah disarankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor berdasarkan penilaian risiko yang telah dilakukan, suka saya mengingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa Persidangan ini berlangsung bagi mengelakkan penularan virus COVID-19.

Antaranya ialah :

1. Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan sepanjang masa berada di dalam Dewan Persidangan. Pemakaian pelitup muka berganda (double mask) adalah digalakkan.

2. Sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal (melebihi 1 meter) di antara satu sama lain ketika persidangan dan semasa pergerakan keluar dan masuk Dewan Persidangan.

3. Bercakap-cakap secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan.

4. Penggunaan tandas di dalam Dewan Persidangan dihadkan kepada 2 orang sahaja pada satu-satu masa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan Yang Berhormat Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian, mantan Menteri Besar Johor mulai 12 Mei 2018 hingga 13 April 2019 dan Ahli Dewan Negeri Kawasan Kempas mulai 29 November 1999 sehingga 2 April 2013 selama 3 penggal dan 10 Mei 2018 sehingga Allahyarham kembali ke rahmatullah pada 20 Disember 2021.

Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bagi orang-orang Islam, kita membacakan Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur selama satu minit. Al-Fatihah (Dewan berdiri).

Terima kasih.

Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2022.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya · Puteri Wangsa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 2 Tahun 2022.

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021.Bill

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 dibaca kali yang pertama.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 58 ditangguhkan sementara, agar rundingan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Bismillahirahmannirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Selawat dan salam turut dihulurkan kepada Baginda Rasulullah SAW, para keluarga dan sahabat Baginda. Juga kepada Alim dan Ulama, semoga memperoleh ihsan Allah di hari Akhirat kelak.

Tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022. Semoga tahun yang baharu ini memberikan peluang kepada kita untuk memperbaiki apa yang salah dan menyempurnakan apa yang tertangguh.

Penggubalan Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 adalah bermaksud untuk menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun ini telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Disember 2021.

Berdasarkan peruntukan ini, setiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam negeri Johor layak menjadi seorang Ahli Dewan Negeri, melainkan orang tersebut tertegah dan tidak mencukupi syarat menjadi Ahli Dewan.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan pindaan kelayakan umur Ahli Dewan Rakyat dan Dewan

Negeri kepada 18 tahun melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang telah diwartakan pada 10 September 2019.

Bagi merealisasikan perkara ini, maka pindaan terhadap Fasal 16, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 perlu dibuat bagi memenuhi keperluan di bawah Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan. Pindaan tersebut diperbuat melalui Rang Undang-Undang (Pindaan) seterusnya dibentangkan sekarang bagi tujuan untuk mendapatkan kelulusan oleh Badan Perundangan Negeri.

Justeru dengan itu adalah dipohon agar Rang Undang-Undang yang dibentang ini, diluluskan oleh Dewan Negeri bagi membolehkan pindaan kepada Fasal 16, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 mengenai had umur kelayakan 21 tahun dipinda kepada 18 tahun bagi Ahli Dewan Negeri.

Rang Undang-Undang ini mengandungi 2 Fasal.

Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.

Fasal 2 bertujuan meminda Fasal 16, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi Ahli Dewan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Reaksi berkenaan pindaan umur mengundi dan calon pilihanraya ini bercampur baur. Ada yang berhujah dengan pelbagai hujahan. Antara lain, benarkah mereka yang berumur 18 tahun sudah cukup matang untuk mengundi Wakil Rakyat mereka sendiri? Tidak perlulah kita bergelumang dalam perbalahan mengenai kematangan. Ianya adalah satu yang subjektif dan perbahasan yang tidak berkesudahan. Sebaliknya, kita harus melihat pindaan ini secara holistik, memfokuskan kepada pemberdayaan kepada golongan muda.

Sesungguhnya, komitmen kerajaan negeri dalam memberdaya golongan muda tidak harus dipersoalkan. Seperti contoh, melalui Belanjawan Johor 2021, agenda Orang Muda Johor atau OMJ telah dijenamakan bagi memberi identiti kepada inisaitif yang direncanakan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM38.8 juta. Bagi Belanjawan Johor 2022 pula, agenda Orang Muda Johor diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM38.5 juta.

Secara kumulatif, sejak tahun lepas, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM77.3 juta, sama ada dalam bentuk pembinaan infrastruktur pro-belia mahupun sokongan kepada inisiatif kepimpinan belia. Oleh itu, kita akan kekal komited untuk memberi pengupayaan kepada Orang Muda Johor, sebanyak dan selengkap yang boleh, melalui pelbagai inisiatif tahunan yang berterusan.

Misalnya, pada tahun hadapan, tumpuan akan diberikan kepada usaha kerajaan negeri menyantuni golongan muda di sektor ekonomi gig atau freelance economy. Beberapa inisiatif reskilling dan upskilling, inisiatif penggalakkan ekonomi digital serta sokongan perniagaan yang munasabah akan dilaksanakan, sama ada melalui Belanjawan Johor 2022 ataupun inisiatif-inisiatif tambahan lain.

Yang Berhormat Tuan Speaker, keseluruhannya, pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal 16 berkaitan had umur kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor ini merupakan salah satu daripada pelbagai lagi inisiatif pemberdayaan Orang Muda Johor.

Pemberdayaan Orang Muda Johor tidak harus tertumpu semata-mata pada aspek pendemokrasian. Tetapi, ianya harus lebih holistik dan inklusif, merangkumi pemberdayaan ekonomi, pemberdayaan intelek dan semangat kesukarelawanan dengan tersusun dan secara terus-terusan. Ianya haruslah berjalan seiring dengan tanggungjawab untuk memilih atau menjadi Wakil Rakyat seawal umur 18 tahun.

Jika ini berlaku, kerajaan negeri membayangkan demokrasi kita akan menjadi lebih sihat dan progresif. Orang Muda Johor akan berupaya untuk membezakan mana yang kaca dan mana yang permata. Di mana yang palsu dan di mana pula yang benar lagi nyata.

Diharapkan, agar pindaan yang dilakukan ini dapat memberikan kemeriahan dan keterujaan dalam pentas demokrasi negara dan negeri Johor khususnya. Semoga pentas demokrasi kita tidak dipenuhi dengan permainan persepsi semata-mata, tetapi disemarakkan dengan budaya perdebatan idea yang matang lagi membina untuk kebaikan semua pihak.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Saya mohon mencadangkan.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 59 maka bolehlah dibahaskan akan rundingan itu tetapi hendaklah dihadkan perbahasan itu kepada dasar-dasar dan faedah-faedah Rang Undang-Undang itu sahaja.

Saya membenarkan rundingan itu dibahaskan oleh dua orang ADUN Kerajaan dan dua orang daripada ADUN bukan kerajaan. Masa yang diberikan adalah 10 minit setiap seorang. Saya jemput dulu wakil dari pembahas ADUN Kerajaan. Jemput.

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, pertama dan untuk sekian kalinya Panti ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas hadapan yang sentiasa berterusan bekerja dalam memastikan negeri dan negara bebas dari ancaman COVID-19. Begitu juga kepada semua agensi, sukarelawan dan orang perseorangan yang ketika ini dan sebelum ini bergerak membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Johor, terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Speaker, amalan demokrasi di negara ini bukanlah satu perkara yang asing. Ianya telah diterapkan sejak sebelum merdeka lagi di mana dapat dilihat beberapa siri pilihan raya telah dijalankan sebelum negara mencapai kemerdekaan. Setiap individu di negara ini diberikan ruang dan hak untuk terlibat secara langsung sama ada sebagai calon mahupun pengundi dalam proses pilihan raya umum, yang mana ianya merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini. 16 Julai 2019, kerajaan pada ketika itu memperincikan tentang had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Perkembangan ini menyaksikan Malaysia mengikuti beberapa buah negara terdahulu seperti United Kingdom, Jerman dan Kanada yang telah membuat pindaan lebih awal berkenaan had umur mengundi.

Selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan 2019) Akta A1063, yang diwartakan pada 10 September 2019 dan berkuat kuasa 11 September 2019, Persekutuan telah meminda syarat-syarat bagi had umur mengundi serta had umur calon pilihan raya umum. Maka, untuk pelarasan di peringkat persekutuan dan negeri, hari ini kita melihat satu cadangan pelaksanaan pindaan umur calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Yang Berhormat Tuan Speaker, jika kita lihat sirah Rasulullah SAW, kita dapat melihat ramai sahabat yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh Baginda untuk memimpin sama

ada sebagai panglima dalam pasukan perang, ketua dalam sesuatu deligasi dan sebagainya pada usia yang muda. Usamah bin Zahid contohnya merupakan seorang anak muda dalam lingkungan umur 18 tahun ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah untuk memimpin pasukan perang melawan tentera Rom dan beliau memperoleh kejayaan.

Begitu juga sejarah penaklukan Constantinople oleh Muhamad Al Fateh, yang hanya berusia 21 tahun ketika membuat keputusan untuk membawa bala tentera serta kapal mereka melalui perbukitan Galata bagi menyerang Kota Constantinople melalui Selat Golden Horn yang akhirnya membawa kejayaan kepada mereka. Dan pada hari ini juga, kita dapat lihat ramai anak-anak muda khususnya diberi tanggungjawab sebagai imam bagi mengetuai sama ada solat fardu ataupun solat sunat seperti solat tarawikh. Di tempat saya juga ada anak muda yang hanya berumur 18 tahun dan diberi kepercayaan oleh penduduk setempat untuk menjadi imam serta mengetuai solat fardu di surau mereka.

Yang Berhormat Tuan Speaker, dari sedikit kisah secara ringkas itu, kita dapat melihat bahawa untuk menjadi pemimpin dan mewakili rakyat, faktor umur bukanlah faktor yang menentukan kepimpinan seseorang. Sebenarnya, menurut seorang penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, faktor umur, latar belakang dan pendidikan disifatkan sebagai nilai tambah apabila pengundi lebih pertimbangkan faktor parti dan personaliti calon. Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang perlu ada bagi memastikan seseorang itu dapat dan berupaya mewakili rakyat di sesuatu kawasan, saya pasti ramai yang sudah tahu dan biasa dengan ciri-ciri seorang pemimpin antaranya perlu ada kebijaksanaan, bertanggung jawab, amanah, jujur dan lain-lain lagi. Tidak perlu Panti huraikan satu persatu ciri-ciri tersebut, yang paling penting mungkin berdasarkan pengalaman beberapa tahun ini mewakili Panti, seorang Wakil Rakyat perlu sebati dan sentiasa ada masa untuk melihat semua permasalahan rakyat yang diwakili, selalu ada di kawasanlah maksudnya bukan duduk di KL, di Ipoh tetapi mewakili rakyat di Johor. Jangan sampai kain rentang mencari YB yang hilang dipasang seperti yang berlaku sebelum ini.

Yang Berhormat Tuan Speaker, ada juga pandangan yang tidak bersetuju dari pelbagai pihak tentang Wakil Rakyat di usia 18 tahun ini seperti dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi antara perkaranya adalah isu kematangan orang muda untuk menjadi Wakil Rakyat, maka Panti menyeru kepada orang muda khususnya di Johor untuk mengambil persepsi bahawa kematangan orang muda di usia seawal 18 tahun ini belum layak untuk menjadi Wakil Rakyat sebagai satu cabaran buat mereka. Buktikan yang mereka betul-betul layak dan mampu memimpin dan menjadi wakill kepada rakyat di sesebuah kawasan kelak. Apa pun Panti pasti dan yakin rakyat di negara ini dan negeri ini khususnya sudah matang dalam memilih pemimpin mereka. Pelaksanaan pindaan pada hari ini adalah bertepatan dan insya-Allah kita dapat melihat satu perkembangan yang baik untuk diri kita pada masa hadapan.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Ya, terima kasih Panti. Seterusnya, saya persilakan wakil daripada bukan kerajaan, jemput.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Tuan Speaker kerana membenarkan saya berbahas dalam sidang khas ini. Sidang DUN Khas ini diadakan untuk meminda Fasa 16 Seksyen 2 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 supaya selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Pada Julai 2019, Parlimen Malaysia telah meluluskan

Rang Undang-Undang yang menurunkan umur mengundi bagi pilihan raya umum daripada 21 kepada 18 tahun. 211 daripada 222 Ahli Parlimen menyokong pindaan perlembagaan tersebut yang membolehkan perubahan ini diperkenalkan. Di samping itu, pindaan ini juga memperkenalkan Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR) kepada warganegara agar layak untuk membuang undi sebaik sahaja mereka mencapai umur 18 tahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini pada 2019, Parlimen sebulat suara mengumumkan langkah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun.

Suruhanjaya Pilihan raya mengunjurkan 7.8 juta pengundi baharu iaitu peningkatan 50% daripada jumlah pengundi menjelang 2023 jika sistem AVR dilaksanakan. Ini kerana AVR sahaja boleh membawa masuk 4.5 juta pengundi berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih. Rang Undang-Undang Undi 18 ini telah juga diwartakan menjadi Undang-Undang pada 10 September 2019. Tambahan pula Hakim Mahkamah Tinggi Kuching ketika membenarkan permohonan semakan kehakiman untuk Undi 18 telah memerintahkan agar penurunan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 dan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021. SPR juga sangat komited untuk memastikan umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik dilaksanakan seperti yang diarahkan oleh Mahkamah. Apabila hak untuk mengundi diwujudkan dalam negara demokrasi, umur mengundi biasanya ditetapkan pada umur 21 atau lebih tinggi. Pada tahun 1970-an banyak negara telah mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun, di Malaysia kini kita mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan Undang-Undang ini menandakan satu peristiwa penting ke arah kemajuan sistem demokrasi kita kerana lebih ramai orang akan layak mengundi dan proses pengundian akan menjadi lebih mudah dengan pendaftaran automatik yang seterusnya membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia layak dan boleh mengundi. Sistem demokrasi hanya akan berkesan dan mencapai tujuannya secara optima apabila rakyat mempunyai akses untuk mengundi dan apabila terdapat peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi iaitu majoriti rakyat mengambil bahagian dalam penentuan pucuk pimpinan negara. Mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun juga mengemudi anak muda kita agar lebih cepat mengenali dan mendekati perkembangan politik negara. Kebanyakan mereka pasti akan mula berfikir matang dan kritis sejak alam persekolahan lagi. Dengan ini, pemimpin pelapis yang lebih muda, yang lebih ramai akan dapat disemai dengan lebih awal seperti bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Belia merupakan, belia boleh membuka lembaran baru dalam politik dan dasar pembangunan negara. Mereka boleh menjadi kuasa yang kreatif, sumber inovasi yang dinamik dan mereka fasih dalam alam digital. Mereka dahagakan perubahan, mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk mengubah sistem dan menjadikannya lebih baik. Justeru itu, memberi peluang kepada mereka sama ada berkecimpung atau mengambil bahagian dalam percambahan minda atau perbincangan politik pasti boleh membawa kemajuan kepada negara. Dengan ini, dengan hujah-hujah berikut tersebut, kami sokong Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan 2021), kami juga berharap susulan daripada pindaan ini Enakmen Anti Lompat Parti akan digubal pada sesi Dewan Undangan Negeri yang akan datang demi memperkasakan lagi fungsi Dewan Negeri Johor yang merupakan tunjang sistem perundangan negeri dan pembela nasib rakyat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Stulang, seterusnya saya persilakan daripada ADUN kerajaan untuk perbahasan, jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, salam sejahtera dan Salam Makmur Johor. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang berbahas dalam sesi perbahasan yang ini, untuk menggubal Fasal 16(2) Undang-Undang Kerajaan Johor selaras untuk meminda hak bertanding dari 21 tahun kepada 18 tahun. Apa yang kita telah maklum, yang kerajaan pusat dah pun buat pindaan dan kita ikut Akta yang ada pada hari ini di negeri kita 18 tahun masih tidak boleh tidak bertanding tapi dengan pindaan yang akan berlaku jika disokong sebulat suara maka pengundi-pengundi yang berumur 18 tahun dah boleh bertanding.

Pertama sekali, saya menyokong pindaan ini kerana sesiapa yang boleh mengundi patut ada hak untuk bertanding, itu pertama. Yang kedua, bila kita membawa lebih banyak pemimpin muda ke hadapan, kita dah boleh tengok di dunia banyak pemimpin-pemimpin muda membawa idea-idea baharu untuk perbaiki atau untuk menjaga kerajaan atau menjaga nasib-nasib kerajaan kita dan nasib-nasib rakyat kita. Tapi ada masalah-masalah yang patut kita teliti terutama sekali apabila kita akan menerima lepas ini Wakil Rakyat yang berusia 18 tahun, 19 tahun, kita kena tengok dari macam mana. Kalau kita pilih seorang Wakil Rakyat yang dah 19 tahun, adakah dia tahu tanggung jawab sebagai seorang Wakil Rakyat, adakah kita akan ajar mereka dari sekolah, dari ruang pendidikan, apakah tanggungjawab sebagai seorang Wakil Rakyat atau Ahli Parlimen, sebab besar kemungkinan kalau kita pergi tanya seseorang individu yang berusia 16 tahun atau 17 tahun, kita tanya dia apa tugas Wakil Rakyat, apa tugas Ahli Majlis, apa fungsi Mesyuarat Tindakan Daerah, hampir kesemuanya tidak tahu, so benda-benda ini patut diajar kepada mereka dari awal sebab kita, kalau kita nak mereka jadi sebagai seorang Wakil Rakyat, kita kena bagi tahu apa tugas-tugas wakil rakyat. Ini paling penting, so aspek-aspek pengajaran ini patut dah dimulakan dari peringkat sekolah untuk mereka lebih tahu. Lepas itu, mereka patut diajar menjadi seorang pengundi yang rasional bukan emosional. Sebab sekarang banyak info-info yang palsu keluar di media sosial, mereka jadi emosional, mereka tak tahu benda itu betul ke, tak betul. Terus jadi emosional. So, benda-benda ini patut diajar kepada mereka. Jadi satu pengundi, satu Wakil Rakyat yang rasional bukan emosional. Benda-benda ini patut dilihat.

Yang keduanya, kita patut tengok kepada hak asasi sebagai wakil rakyat pula. Macam mana seorang Wakil Rakyat berusia 19 tahun dipilih, lepas 5 tahun atau 2 penggal dia jadi Wakil Rakyat pada usia 30 tahun, mungkin dia dah kena pencen sebagai Wakil Rakyat. Tetapi bila 19 tahun dia jadi Wakil Rakyat adakah dia ada peluang untuk belajar? Sebab bila 18 tahun, 19 tahun, dia masuk dia tak ada, memang mungkin tak ada masa nak belajar, mungkin kita cakap dia boleh buat online study, tetapi sebagai satu wakil rakyat tugas-tugas mereka adalah 24 jam. Tak pernah ada sini Wakil Rakyat cakap saya kerja 9.00 hingga pukul 5.00 je. Semua kerja 24 jam. So adakah mereka akan ada masa untuk belajar? Sambung belajar mereka. So, bila 30 tahun mereka dah 2 penggal mungkin tak dipilih atau tak jadi Wakil Rakyat. Pencen mereka akan terima 50 tahun ke atas, baru dapat terima pencen. So, keadaan ini macam mana mereka boleh sambung belajar, mungkin kerajaan negeri boleh lihat mereka bila dah dua penggal mungkin bagi mereka pinjaman yang tak ada cukai, eh tak ada interest untuk mereka pergi sambung belajar. So at least, benda ini akan bagi mereka satu motivation untuk bertanding. So, kalau tidak apakah keadaan mereka? 18 tahun hendak pergi bertanding, tetapi tak belajar. Lepas itu 30 tahun dah pencen, apakah keadaaan ini? So, kita kena tengok balik hak-hak asasi Wakil Rakyat untuk memberi peluang kepada belia-belia untuk bertanding.

Inilah antara perkara-perkara yang penting, kita setuju sebulat suara. Kita setuju 18 tahun boleh bertanding tetapi, yang penting kita kena tengok apakah hak-hak asasi mereka yang kita pun boleh memelihara untuk memberi mereka lebih banyak ruang datang jadi seorang Wakil Rakyat. Dengan kata-kata itu sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang pada saya dalam perbahasan Dewan hari ini. Saya menyokong. Sekian terima kasih.

Speaker

Ya terima kasih kepada Tenggaroh. Jemput daripada bukan kerajaan.

Tuan Muhammad Taqiuddin bin ChemanAMANAH · PHPulai Sebatang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabakaratuh. Terima kasih kepada Tuan Speaker atas ruang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 berkenaan dengan undi 18 pada hari ini. Kalau kita melihat secara objektif berkenaan dengan pelaksanaan undi 18 yang telah diluluskan di peringkat Parlimen pada tahun 2019 yang lalu, maka dengan ini dari sudut Perlembagaan Persekutuan, undi 18 telah pun melepasi prosedur yang diperlukan dan telah berkuat kuasa di peringkat negeri khususnya di negeri Johor, saya berpendapat kita seharusnya seiring dalam membawa agenda.

Mengikut jejak langkah negara maju untuk membawa Malaysia ke arah negara demokrasi yang lebih subur, mampan dan menyeluruh, kita seharusnya sudah berada pada tahap yang boleh memberi ruang tersebut dengan lebih luas kepada rakyat di negara ini. Negara-negara lain telah lebih awal menurunkan had umur mengundi daripada umur 21 hingga 18 tahun, seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, German, Kanada, Perancis. Pada sekitar tahun 80-an juga negara-negara komanwel seperti India, Pakistan, New Zealand. Semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia turut mengambil langkah yang sama. Terkini adalah di negara Jepun yang mengambil langkah yang sama pada tahun 2016. Di Asean, negara yang belum melaksanakan hanyalah Malaysia dan juga Singapura. Ini menunjukkan sebahagian besar negara yang mengamalkan demokrasi dalam sistem politik negara telah memberi hak dan tanggungjawab memilih pemimpin mereka kepada warganegara yang berusia 18 tahun. Daripada rekod tersebut, hanya berapa buah negara sahaja yang lagi yang masih belum melaksanakan. Namun, Malaysia harus seiring dengan negara maju dan membangun yang lain dengan melihat warga yang berumur 18 tahun dan ke atas sebagai warga yang matang dan mempunyai keupayaan untuk menilai sesiapa yang harus diangkat sebagai pemimpin mereka. Menyedari bahawa sistem politik yang sentiasa berkembang dan bersifat dinamik, pembuat dasar juga kita yang berada di Dewan yang mulia ini seharusnya seiring dengan perkembangan yang berlaku kepada rakyat di negara ini.

Yang keduanya, kita bawa agenda anak muda dalam dasar-dasar yang diperkenalkan. Kita semua sedia maklum, malah pemerhati politik juga menyatakan pandangan bahawa kemasukan pengundi baharu atau pengundi muda dengan terlaksananya undi 18 ini memberi kesan besar kepada politik pengundian dan kesan landskap politik negara ini. Sudah semestinya segmen pengundi muda ini akan menjadi gen changer kepada politik tanah air apabila 7.8 juta pengundi baharu akan masuk sebagai pemilih dengan mengandaikan PRU akan datang pada tahun 2023. Sama ada suka atau tidak perhatian yang lebih serius dan mendalam perlu diberikan oleh pemain-pemain politik dalam menawarkan atau menggariskan polisi-polisi yang pro kepada anak muda. Ini sekaligus memberi kesan dan manfaat kepada golongan ini dalam menentukan pemimpin yang mereka pilih. Tambahan pula dalam keadaan kesan ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19 yang masih lagi belum dapat di atasi sepenuhnya, sudah pastinya anak muda mahu melihat polisi-polisi yang komprehensif dan memberi manfaat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dapat diperkenalkan.

Tiga, memberi pendedahan lebih awal kepada generasi muda. Pemimpin datang dan pergi, pelapisnya adalah golongan muda. Pendedahan awal dan penyertaan mereka dalam proses demokrasi wajar pada usia 18 tahun. Malah keberanian mereka yang berumur 18 tahun untuk menjadikan pemimpin pada masa akan datang kemungkinan menjadi kenyataan. Mungkin lima atau sepuluh tahun akan datang lahirnya pemimpin muda berkaliber dalam usia seawal 18 tahun. Pendedahan kepada penyertaan anak muda dalam proses demokrasi dalam negara amat penting. Ini bukan sahaja untuk memastikan penyertaan warganegara dalam memilih pemimpin ini dapat diperluaskan tetapi proses kepada menilai dan memilih pemimpin ini sesuatu yang baik untuk negara ini. Ini akan mewujudkan satu keadaan dimana setiap daripada mereka yang akan bertanding menawarkan diri untuk menjadi pemimpin perlu mencapai kriteria-kriteria yang akan memenuhi kehendak rakyat, khususnya golongan muda yang akan mewarisi tanggungjawab membangunkan negara ini. Malah kita juga tahu negara-negara yang berani memilih pemimpin pada usia yang muda dan mempunyai daya kepimpinan yang baik seperti Perdana Menteri Kanada, Perdana Menteri New Zealand dan Menteri Finland dan beberapa lagi pemimpin lain yang masih muda bermula dengan pendedahan kepada sistem demokrasi pada usia muda. Contoh-contoh ini akan memberikan gambaran kepada kita bahawa pendedahan bermula dari usia yang muda dalam konteks undi 18 ini, akan memberi kesan yang baik dan pembinaan nilai kepimpinan di kalangan anak muda dan menjadi pemangkin kepada mereka untuk turut serta dalam proses pendemokrasian.

Akhirnya yang keempat, cabaran undi 18 ini. Mesti pun kita melihat kesan-kesan baik, positif terhadap anak muda dalam pelaksanaan undi 18, namun kita harus memastikan perkara ini benar-benar memberi impak. Kita tidak boleh hanya sekadar menggubal satu rang undang-undang, bentang, lulus dan laksanakan semata-mata. Sudah semestinya ada cabaran perkara-perkara lain yang perlu disusuli bagi memastikan hak tanggungjawab yang diberikan kepada undi 18 ini dilaksanakan dengan sebaiknya. Melihat kepada beberapa negara yang sudah lebih awal melaksanakan dasar ini, antara cabaran yang perlu dihadapi adalah bagaimana untuk memberi kesedaran semaksimum mungkin kepada golongan ini akan tanggungjawab mereka mengudi dalam pilihan raya. Misalnya di Kanada, pada dalam satu laman web election send democracy, data menunjukkan pada tahun 2015 perbezaan percentage mereka yang keluar mengundi bagi kumpulan berumur 18 hingga 24 tahun dan 65 hingga 74 tahun sekitar 20%. Pada tahun 2019, peratus pengundi muda yang berusia 18 sehingga 24 tahun yang keluar mengundi adalah sekitar 54% berbanding pengundi berusia 65 hingga 74 tahun sebanyak 79%. Ini menunjukan sekitar 25%.

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman negara-negara yang lain kita seharusnya mempergiat dan memperkasakan penerangan tentang hak dan tanggungjawab pengundi awal atau pengundi muda ini. Kita tahu, kita tidak mahu penurunan had umur sebagai pengundi hanya dicanang dalam forum dan di atas kertas tetapi dari sudut pemahaman dan tanggungjawab mereka untuk sistem demokrasi yang digunakan dalam negara ini tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya. Pulai Sebatang berpandangan undi 18 ini wajar kita laksanakan untuk pilihan raya di negeri ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih kepada Pulai Sebatang. Yang Amat Berhormat kalau ada hendak buat penggulungan, jemput. Tak ada, ok.

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang kedua sekarang. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.

Jurutulis

Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Speaker

Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

FASAL 1.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 2.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Pengerusi

Dewan Negeri Bersidang semula.

Dato’ Haji Hasni bin MohammadUMNO · BNMenteri Besar · Benut

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Dari itu, saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh 1895 (Pindaan) 2021 dibaca kali ketiga dan diluluskan sekarang. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut:

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021. Dan Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Datuk Haji Samsolbari bin JamaliUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Semarang

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.

Tuan Haji Mazlan bin BujangBERSATU · PHPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya · Puteri Wangsa

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya menyokong rundingan ini.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum Dewan ini ditangguhkan saya dan seluruh Ahli Dewan Negeri ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh keluarga mangsa banjir yang berlaku di negara kita ini. Semoga mangsa dan ahli keluarga diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian besar ini. Insya-Allah.

Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan setinggi-tingginya terima kasih kepada barisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus serta berkorban masa dan tenaga demi memerangi pandemik COVID-19 di negara kita.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan. Sekian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 10.25 pagi.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Tuan Haji Zainal bin Eran

Penolong Jurutulis Encik Hasnul Atmam bin Othman Puan Farrah Diana binti Mohammad

Koordinator Cik Norzita binti Abdul Aziz

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Nor Dalilah binti Dahalan Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Raihanah binti Ismail

Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar