Johor · 16 June 2022
1st session, 2nd meeting · 5 turns · 1,996 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini. Bagi membolehkan kita menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku di hadapan Tangga Agung bangunan ini, maka saya tangguhkan persidangan ini sehingga jam 10.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 9.35 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10.30 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Sukacita saya memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat masuk sebentar lagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor mohon perkenan bacaan doa.
DOA PEMBUKAAN PENGGAL PERSIDANGAN. (Mufti Negeri Johor baca doa).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri.
DYMM Sultan Johor : Terpanjang sikit pula ucapan saya. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam, kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah bersyukur saya kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada pagi yang mulia ini.
Saudara-saudari sekalian, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua 56 Ahli Dewan Negeri Johor yang telah dipilih di dalam Pilihanraya Negeri yang lalu. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negeri penggal yang lepas yang telah menabur bakti untuk rakyat dan negeri Johor.
Pada penggal ini, saya harap banyak perkara dapat dijalankan dengan mudah dan lancar kerana kerajaan mempunyai majoriti yang besar. Namun begitu juga, ini bukan bermakna
kerajaan boleh berbuat sesuka hati kerana saya akan meneliti setiap perkara yang hendak dilaksanakan. Saya juga berharap tidak ada lagi rebutan kuasa sehingga tamat tempoh lima tahun bagi penggal ini. Hentikan semua kempen politik kerana sekarang adalah masa untuk bekerja dan tunaikan segala janji yang telah dibuat dahulu.
Dengan penyertaan lebih separuh muka baru, dengan ramai pemimpin muda, saya harap setiap Ahli Dewan akan bekerja lebih semangat dan membawa banyak buah fikiran yang bernas. Suka saya ingatkan bahawa Dewan Negeri Johor yang mulia ini, mempunyai peraturan yang wajib dipatuhi. Oleh itu, setiap Ahli mestilah menjaga adab, tingkah laku dan tatatertib semasa di Dewan ini. Saya harap Speaker Dewan yang baru ini atas, akan bersikap tegas dan berani. Jika ada mana-mana Ahli Dewan yang melanggar peraturan, jangan teragak-agak untuk ambil tindakan. Suka juga saya ingatkan bahawa setiap Ahli Dewan wajib hadir dalam semua Persidangan kerana ini adalah tugas awak semua sebagai Ahli Dewan Negeri Johor. Pastikan jangan ada yang ponteng.
Saudara-saudari sekalian, tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang baharu, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang telah dilantik. Bersandarkan kepada kehendak rakyat yang mahukan penglibatan orang muda, saya telah melantik lebih 70% Ahli EXCO yang berumur di bawah 50 tahun, malah terdapat lima EXCO yang di bawah 40 tahun. Saya berharap dengan gabungan ahli EXCO pelbagai usia, taraf pendidikan dan pengalaman kerja mereka akan bergerak lebih bertenaga untuk membawa kemajuan dan kecemerlangan negeri Johor. Saya akan memerhati dan menilai prestasi kerja setiap EXCO dan saya akan membuat pertukaran jika ada yang gagal untuk memikul tugas yang diberikan.
Suka saya ingatkan kerajaan mesti mempunyai kewangan yang kukuh. Jika kewangan kita yang lemah, maka kerajaan sukar untuk berikan perkhidmatan yang terbaik pada rakyat. Ingat pesanan saya, jangan belanja lebih daripada apa yang kita kutip, jika dapat hasil RM10.00 janganlah belanja RM12.00 tetapi hanya belanja RM8.00 sahaja dan lebihnya dibuat simpanan untuk waktu susah atau kecemasan. Saya faham tentang perbelanjaan besar yang terpaksa dibuat pada tahun lepas akibat COVID, namun selepas ini kerajaan mesti berbelanja dengan lebih berhemah.
Saya juga ingin menggesa kerajaan persekutuan memberi peruntukan yang lebih banyak kepada negeri Johor kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan yang telah dikutip di negeri ini. Saya merasa amat sedih dengan keadaan bangunan persekutuan yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Kompleks CIQ Sultan Iskandar. Kemudahan pusat transformasi bandar atau UTC juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian yang lebih cekap dan keadaan yang selesa.
Saya menyeru kerajaan persekutuan agar segera tunaikan janji untuk menaikkan taraf Lebuhraya Utara Selatan kepada 6 lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru menjadi 4 lorong. Perkara ini lihatlah sendiri juga keadaan-keadaan jalan-jalan persekutuan yang rosak dan berlubang-lubang contohnya Jalan Johor Bahru ke Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya. Saya rasa seolah-olah negeri Johor ini di anaktirikan walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara. Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.
Saudara-saudari sekalian, sejak tahun 2013 hingga 2018, negeri Johor menduduki tempat pertama bagi jumlah pelaburan di Malaysia. Keadaan politik yang stabil pada ketika itu telah membawa banyak pelaburan di Iskandar Malaysia dan Pengerang. Namun, sejak tahun 2019 sehingga kini nilai pelaburan di negeri Johor semakin merosot. Mengapa perkara ini terjadi? Puncanya bukan kerana virus COVID tetapi punca utama yang saya nampak adalah virus iri hati dan cemburu kepada negeri Johor. Ada pelabur yang hendak membangunkan ladang solar terbesar di Pengerang namun kerajaan persekutuan
mengenakan sekatan dengan alasan tiada kuota. Ada pelabur hendak membangunkan pusat tenaga dan pelabuhan laut dalam di perairan Muar, namun ada pula monyet yang melompat-lompat. Tidak tahu pembangunan dibuat sedangkan projek tersebut akan memberikan peluang pekerjaan baharu yang lebih terjamin kepada penduduk tempatan.
Jika keadaan ini berterusan, maka jangan mimpi untuk menarik pelaburan yang besar ke negeri Johor ini. Oleh itu, suka saya ingatkan kepada kerajaan saya, buatlah perubahan yang berani demi untuk kepentingan rakyat dan negeri ini. Saya juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di Johor seperti high speed rail dan lebuhraya baharu kerana ia akan memberi limpahan ekonomi kepada pembekal dan kontraktor tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan lagi memberikan hakmilik tanah kepada persekutuan tetapi mana-mana projek persekutuan di Johor hanya akan diberi tanah rizab untuk tujuan yang hendak digunakan.
Saudara-saudari sekalian, semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang perlu bekerjasama bagi menarik lebih banyak pelabur untuk menjalankan perniagaan di negeri ini. Selain daripada membuat promosi, kerajaan perlu mengurangkan karenah birokrasi atau red tape yang mudahkan urusan pelabur untuk memulakan perniagaan. Dasar dan polisi kerajaan juga mestilah konsisten dan tidak berubah-ubah mengikut acuan politik. Saya menyeru kerajaan persekutuan supaya jangan buat keputusan mengikut selera sendiri, fikirkan kesan dan akibatnya kepada negeri-negeri. Sebagai contoh, lihatlah program Malaysia My Second Home (MM2H) pada asalnya dahulu kerajaan bersungguh-sungguh menggalakkan orang luar untuk datang tinggal dan melabur di sini. Namun, apabila pentadbiran kerajaan bertukar, segala dasar dan polisi turut diubah sesuka hati. Tindakan ini telah menyebabkan pembangunan-pembangunan hartanah di Johor menjadi terencat dan pelabur luar hilang keyakinan. Pesanan saya kepada kerajaan persekutuan, jika hendak tidak boleh membantu, janganlah pula menyusahkan negeri. Saya berharap kerajaan persekutuan akan memperkenalkan semula dasar yang mesra pelabur dan diberikan insentif yang menarik untuk merancakkan kembali pelaburan di negeri Johor seperti pengecualian cukai, duti dan sebagainya.
Saya juga menyeru kepada kerajaan agar segera merancang dan bertindak supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina sesuai dengan kemampuan rakyat di negeri ini. Kerajaan perlu juga mengawal kualiti kerja dan binaan pemaju-pemaju perumahan serta memastikan setiap projek itu disiapkan mengikut tempoh jadual yang ditetapkan.
Saudara-saudara sekalian, setelah 30 tahun, negeri Johor masih belum menjadi tempat tumpuan pelancong, apa yang saya nampak Johor hanya menjadi tempat laluan sahaja bagi pelawat dari Singapura untuk ke negeri lain. Oleh itu, saya harap EXCO yang berkenaan bekerja lebih kuat. Saya juga tidak mahu kawasan pelancongan diswastakan kerana pihak swasta hanya mementingkan keuntungan. Lihatlah apa yang terjadi kepada Air Terjun Kota Tinggi, Gunung Ledang dan Jeti Kukup. Mereka telah gagal untuk membayar pulangan kepada kerajaan. Namun apabila kerajaan beri notis tuntutan untuk dikeluarkan dan tindakan pembatalan diambil, kerajaan pula yang disaman. Sistem yang lemah seperti ini mesti ditukar.
Rakyat juga ingatkan supaya menjaga kebersihan, segala bungkusan makanan yang dibawa datang hendaklah dibawa balik atau dibuang di tempat yang disediakan, jangan jadi pengotor, kerajaan saya bukan kerajaan pungut sampah. Pihak Berkuasa jalankan tugas semua.
Saudara-saudari sekalian, saya mahu kerajaan negeri bergerak tanpa kepentingan politik. Oleh itu, segala projek kerajaan hendaklah disebut sebagai Projek Kerajaan Johor bukannya Projek Kerajaan Barisan, Perikatan atau yang lain-lain. Bantuan kerajaan juga hendaklah
dibuat melalui jabatan kerajaan, pejabat daerah, penghulu dan ketua kampung supaya ia tidak berbau politik.
Saya juga menyeru agar pelantikan Ketua Kampung tidak dikaitkan dengan mana-mana parti politik. Pelantikan Ahli Majlis Tempatan juga hendaklah dibuat dengan teliti dan mengambil kira taraf pendidikan, kepakaran dan pengalaman kerja bukan ikut jawatan parti politik. Tugas mereka adalah untuk memberikan pandangan sahaja bukan keputusan mengikut kontrak kerja.
Saya menyeru kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan supaya meningkatkan tahap kebersihan, keceriaan dan kemudahan riadah di kawasan masing-masing. Setiap Majlis hendaklah menyediakan laluan perjalanan kaki yang sempurna di kawasan bandar dan laluan basikal di kawasan pinggir bandar untuk tujuan rekreasi. Yang mana saya nampak sekarang, berbasikal di lebuhraya, jangan salahkan orang, lain kali kalau ada accident.
Suka saya ingatkan bahawa kerajaan Johor telah mengharamkan elektronik atau vape sejak tahun 2016. Oleh itu, semua permohonan lesen jualan atau kilang pengeluaran vape janganlah dilayan. Malah Singapura juga telah mengharamkan penggunaan vape di negara itu sejak tahun 2018.
Suka saya ingatkan bahawa had umur minimum untuk layak menjadi Ahli Dewan Negeri adalah masih kekal 21 tahun kerana pindaan Enakmen yang dibuat pada 6 Januari 2022 yang lalu, saya belum beri persetujuan. Pada hemat saya cadangan menurunkan ... sensitif ke?
Pada hemat saya, cadangan menurunkan had umur minimum tersebut adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuannya. Namun begitu, saya tetap menyokong pemberian hak mengundi kepada berusia, golongan berusia 18 tahun ke atas. Tetapi untuk menjadi Ahli Dewan, saya rasa mereka masih belum sesuai.
Saya menyeru kerajaan agar banyakkan program untuk golongan belia supaya mereka tidak hanyut dipengaruh oleh budaya yang rosak, fahaman yang liberal dan akidah yang terpesong.
Semua pihak mesti ingat tentang kuasa-kuasa negeri, yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Jangan buat keputusan sesuka hati. Saya sangat kecewa dengan tindakan kerajaan persekutuan membatalkan Rayuan Tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018. Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri setelah dia mengarahkan Peguam Negara cuti berehat dan ketika itu belum lagi, kabinet belum lagi dibentuk. Kerajaan Johor juga langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan negeri Johor. Oleh itu, saya mahu kerajaan bertindak tegas terhadap individu ketika itu yang telah melanggar kuasa negeri, malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli maka Perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya dan Johor bukan lagi sebahagian dari persekutuan.
Saudara-saudari sekalian, ucapan saya ni agaknya panjang sikit tapi saya cuba short cut. Saya menyeru kepada semua pihak agar sentiasa berganding bahu, bekerjasama, bermuafakat demi untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. Marilah kita berdoa semoga negeri Johor akan kekal selamat, maju dan makmur dan seluruh rakyatnya hidup bersatu padu, aman dan sentosa. Ini kepada semua Bangsa Johor.
Akhir kata, dengan lafaz bismillahirrahmaanirrahim, saya dengan sukacitanya saya merasmikan Persidangan Penggal Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekejap, ada lagi sikit aje. Saya melantik Tunku Mahkota sebagai Pemangku Raja. Saya ingin nak berehat sekejap. Terima kasih. Mulai hari ini. Terima kasih.
Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan Dewan ini. Dijemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian beredar ke Dewan Banquet. Maka saya tangguhkan persidangan ini sehingga hari Ahad, 19 Jun 2022 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.