Johor · 20 June 2022
1st session, 2nd meeting · 144 turns · 32,618 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, benarkah Persidangan Dewan Negeri Johor dengan izin, very dull, membosankan? Apakah kayu ukur sidang yang tidak membosankan? Adakah kita mahu sidang yang kecoh, jerit-menjerit, maki hamun dan keluar kata-kata kesat sepertimana yang telah berlaku di sebuah negeri antah berantah? Atau kita mahu persidangan dewan tumbuk-menumbuk seperti di Parlimen Hong Kong? Membaling mikrofon di Uganda? Membaling kasut di Parlimen Kuwait? Dan membaling belon air di ParlimenTaiwan?
Ahli-Ahli Yang Berhormat, titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim adalah panduan terbaik. Segala-galanya ada dalam Titah Tuanku. Fakta, berterus-terang, bahasa yang lunak, kesopanan, ketegasan, cadangan, teguran, peringatan dan nasihat.
Yang Amat Berhormat Machap mengemukakan banyak perkara baru dalam 6 teras untuk menjadikan Johor Negeri Maju Menjelang 2030 termasuk 41 inisiatif sebelum sampai pun tempoh 100 hari. Tidak provokatif dan panas bukan bermakna kita adalah rubber stamp. Perbahasan terbaik ialah ada perkara baru, berkepentingan awam dan mendesak, dan ada syor ataupun cadangan.
Semalam ada beberapa Ahli Yang Berhormat berbahas dengan bernas. Sekadar menyebut Sri Medan, Perling, Kahang dan Kukup, contohnya sambil menegur. Yang Berhormat Sri Medan juga membuat beberapa syor seperti menjadi Sungai Simpang Kiri sebagai tempat tarikan pelancong. Sejak berpuluh tahun, tidak ada siapa yang memikirkan, cuma barangkali YB Sri Medan tidak menyebut ataupun mendedahkan Sungai Simpang Kiri banyak buaya (Dewan ketawa) termasuk buaya harum manis.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, izinkan saya berpantun dalam bahasa Banjar sebab saya orang Banjar. Amuan puan laksa dihantar, Tampurung kalapa di atas upih, Amun pian marasa pintar, burung apa yang paling sugih? Maksudnya burung apa yang paling kaya?
Kalau ada Yang Berhormat dapat menjawab, saya bagi bonus tambahan masa 5 minit untuk berbahas. Terima kasih.
Soalan LisanQuestions
Dijemput soalan nombor 1.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.
Terangkan keadaan sempadan Malaysia/Singapura termasuk bilangan aliran orang di CIQ BSI dan CIQ KSAB sejak sempadan dibuka?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, kepala saya nak fikir jawab burung apa yang paling kaya ni? (Ketawa). Terima kasih saya Yang Berhormat Stulang bertanya tentang keadaan sempadan Malaysia-Singapura termasuk bilangan aliran orang di CIQ Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sejak sempadan mula dibuka.
Tambak Johor dan Second Link yang menghubungkan Johor dan Singapura kembali meriah sejak pembukaan sempadan pada 1 April tahun ini. Penantian untuk bertemu dengan ibu bapa, anak, suami, isteri dan ahli keluarga telah berakhir. Mereka yang terkandas ketika mencari rezeki di Singapura kembali ke pangkuan orang yang tersayang. Inilah pertemuan yang dinanti-nantikan setelah hampir 2 tahun berpisah. Perasaan bercampur-baur melihat tangisan kesyukuran rakyat Malaysia yang berjalan malah ada yang berlari kembali ke tanah air, ke bumi Johor. Seluruh negara menyaksikan kepulangan rakyat Malaysia dalam detik bersejarah itu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembukaan sempadan Malaysia – Singapura bukan sahaja memberi impak positif terhadap hubungan kekeluargaan, malah ia turut memberi kesan kepada sosio ekonomi negeri, terutamanya bandaraya Johor Bahru. Jelas sekali hubungan simbiotik Johor-Singapura ini tidak dapat dipisahkan. Hubungan simbiotik Johor – Singapura ini tidak dapat dipisahkan, demi pemulihan ekonomi kedua-dua belah pihak. Usaha ini turut menghidupkan kembali kebanyakan sektor perniagaan yang terhenti sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19. Kesannya kebanyakan perniagaan dan perusahaan telah kembali beroperasi setelah ada yang terpaksa tutup kedai semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perlu saya nyatakan di sini bahawa pembukaan sempadan bukanlah kerja yang mudah. Usaha ini telah mendapat kerjasama dan komitmen pihak yang terlibat daripada kedua-dua negara Malaysia dan juga Singapura. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana mengetuai perancangan kerajaan dalam menjayakan pembukaan sempadan ini. Ucapan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan, Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan, Menteri Luar Negeri serta Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Hasni Mohammad, Menteri Besar Ke-18 yang turut menjayakannya.
Ia tidak juga menjadi kenyataan jika kita bertepuk sebelah tangan. Singapura turut memainkan peranan mereka dalam urusan pembukaan sempadan ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Perdana Menteri Singapura serta Menteri Luar, Menteri Pengangkutan dan Konsul General Singapura di Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat Stulang, statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah seramai 138,000 orang sehari. Manakala di CIQ KSAB pula adalah seramai 28,000 sejak pembukaan sempadan pada April lalu. Pihak JIM melaporkan sejumlah 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI di antara April dan Jun tahun ini. Manakala seramai 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB melalui tempoh yang sama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin kongsikan statistik mod penggunaan kenderaan di CIQ BSI bagi tempoh April hingga Jun tahun ini yang merekodkan peratusan sebanyak 42.9% bagi bas, 15.2% bagi kereta, 38.1% bagi motosikal dan 3.7% bagi lori untuk kemasukan warganegara. Manakala bagi bukan warganegara, 38.6% bagi bas, 54.7% bagi kereta, 6.6% bagi motosikal, 0.1% bagi lori.
Bagi tempoh yang sama di CIQ KSAB pula, sebanyak 6.2% menggunakan bas, 23.3% kereta, 61% motosikal, 9.6% lori untuk warganegara. Manakala bagi bukan warganegara, 9.5% bagi bas, 78.3% bagi kereta, 12.2% bagi motosikal dan 0.01% bagi lori.
Kerajaan negeri Johor sedar bilangan keluar masuk pengguna di kedua-dua tempat ini mengalami peningkatan yang mendadak. Justeru saya telah berbincang dengan semua agensi terlibat bagi memastikan usaha dan komitmen yang lebih fokus demi menjamin imej dan reputasi kerajaan negeri dan persekutuan. Ketika ini di CIQ BSI, sebanyak 38 kaunter laluan kereta dan 50 kaunter laluan motorsikal keluar masuk disediakan. Sebanyak 12 kaunter kenderaan berat dan 42 kaunter automatik dan manual beroperasi bagi perkhidmatan bas.
Di CIQ KSAB pula, terdapat sebanyak 24 kaunter laluan kereta dan 25 kaunter laluan motorsikal disediakan. Manakala untuk bas, terdapat 26 kaunter bas dan 3 kaunter lori disediakan.
Secara keseluruhannya sebanyak 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI dan 169 lagi di CIQ KSAB. Bagi memantapkan lagi keberkesanan perkhidmatan di kedua-dua CIQ ini, tenaga kerja serta kapasiti anggota-anggota juga ditambah. Bagi kedua-dua pintu masuk itu, pihak JIM menugaskan seramai 1,631 anggota, 722 kakitangan kastam, 87 kakitangan JPJ dan 206 anggota PDRM.
Yang Berhormat Datuk Speaker, meskipun pembukaan sempadan telah menjadi satu kenyataan, masih timbul keluh resah dan rungutan rakyat Malaysia dan juga Singapura mengenai isu-isu yang berkait rapat. Saya dan pasukan akan terus berusaha untuk segera menyelesaikan isu-isu berbangkit ini, kerajaan negeri juga akan terus meningkatkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan khususnya bagi memantapkan lagi perkhidmatan di kedua-dua CIQ agar ia lebih efektif. Rakyat akan terus tetap diutamakan. Sekian, terima kasih.
Ya saya jemput Stulang.
Terima kasih Yang Berhormat Menteri Besar, Datuk Menteri Besar. Terima kasih juga saya ingin ucapkan kepada semua pihak, kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan atas usaha dan pencapaian pembukaan sempadan. Dan juga tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar juga kerana keprihatinan beliau terhadap keadaan di sempadan dan CIQ kerana beberapa, telah banyak kali melawat CIQ.
Dan ada dua perkara yang saya rasa perlu diberi perhatian. Salah satu saya rasa telah pun dibangkitkan oleh Menteri Besar iaitu mengenai jumlah aliran orang yang semakin meningkat. Sekarang adalah, purata adalah 138,000 di BSI, 28,000 di KSAB. Dan saya menjangkakan angka ini akan meningkat dalam masa terdekat atau 6 bulan setahun ini. Jadi aliran adalah confirm akan meningkat. Dan jadi adakah kerajaan negeri dan akan sentiasa akan kerjasama dengan pihak JIM? Agar memastikan bahawa semua kaunter atapun lebih banyak kaunter dibuka untuk menampung keperluan ini.
Jadi isu yang kedua, ini yang kedua, isu yang kedua adalah setelah sempadan dibuka. Ya, memang perniagaan telah pun meningkat, ekonomi telah meningkat. Walau bagaimanapun ada satu masalah adalah ramai peniaga merungut bahawa setelah sempadan dibuka, walaupun perniagaan naik, tetapi sekarang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja dan buruh. Tak ada orang bekerja untuk mereka. Jadi, boleh tak kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan ataupun menubuhkan task force di antara Jabatan Imigresen, KDN dan juga Kementerian Sumber Manusia untuk membincangkan krisis kekurangan tenaga buruh asing ini di Johor Bahru. Kerana untuk memacu kemajuan
ekonomi, tenaga kerja merupakan satu aspek yang sangat penting kerana bila kita orang cakap, bila air ada tapi baldi kita tak ada. Jadi, ekonomi tidak dioptimakan. Jadi, 2 perkara ini, tenaga buruh asing untuk menampung keperluan dan juga di Bangunan CIQ tersebut memastikan kaunter yang banyak dan cukup sentiasa dibuka untuk menampung keperluan mereka yang akan keluar masuk Malaysia. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Stulang atas soalan dan cadangan yang baik itu. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita sedar dan maklum tentang pelbagai isu yang kita hadapi di sempadan BSI dan juga KSAB seperti apa yang disebut oleh Yang Berhormat Stulang antaranya ialah isu kesesakan dan seperti yang dilontarkan isu tenaga kerja selepas keluar daripada sempadan Imigresen. Ada isu-isu lain seperti isu baru-baru ini tular di facebook tentang sempadan kita dibolos. Ada juga isu-isu integriti yang telah diwar-warkan dan semua ini memberi kesan imej kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di peringkat kerajaan negeri kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak telus mahupun cuai dalam melaksanakan tugas dan amanah. Saya telah berjumpa, berbincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Tan Sri SS pun ada tentang isu-isu ini. Saya telah juga berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, berbincang dengan Ketua Polis dan juga Jabatan Imigresen Malaysia untuk kita membetulkan keadaan supaya negeri ini tidak dibolosi lagi. Dan Ketua Pengarah Imigresen akan berjumpa dengan saya pada hari Khamis ini untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi. Tetapi apa yang saya nak laporkan untuk jangka masa pendek ini Ahli-Ahli Yang Berhormat, Datuk Speaker, tindakan awal telah diambil dengan mendirikan pos kawalan Polis 24 jam di kawasan yang dikenal pasti. Kawad berduri dipasang di setiap tebing Selat Tebrau. Pemantauan secara berkala dan tidak berkala di pertingkatkan oleh Pihak Berkuasa. Tempatnya inisiatif pemasangan automated land barrier ataupun boom gate dirancang untuk dilaksana untuk mengelak isu bolos kenderaan di CIQ, KSAB. Bagi memperkasa pemantauan di kawasan yang dicerobohi, perbincangan juga diadakan dengan kerajaan negeri dan persekutuan untuk meletakkan lebih banyak kamera litar tertutup di sekitar kaunter pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia, di Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan juga Jabatan Imigresen Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab soalan Yang Berhormat Stulang, secara peribadi saya telah turun ke BSI dan juga KSAB sebanyak 10 kali. (Dewan bertepuk.) Saya juga telah menaiki bas daripada Johor pergi ke Singapura untuk merasai sendiri pengalaman sebagai pengguna dan hasilnya saya dapati terdapat beberapa perkara yang perlu kita buat dari segi penambahbaikan. Semalam juga Yang Berhormat EXCO Pelancongan YB Raven, Pengarah Tourism Johor, Tuan Haji Suhairi, Puan Azura daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan saya telah buat lawatan ke KSAB kerana baru-baru ini tular juga isu tentang bas pelancong yang terkandas lebih daripada 4 jam untuk memasuki negeri Johor. Saya dan Barisan EXCO berpandangan bahawa masa itu adalah emas. Masa itu adalah sangat berharga. Setiap saat seorang pelancong terkandas akibat kesesakan adalah peluang keemasan yang terlepas untuk penjanaan ekonomi di negeri Johor. Industri pelancongan tempatan tidak sepatutnya terkesan dengan masalah yang boleh ditangani seperti kesesakan kenderaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini juga saya bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melawat Bangunan CIQ, BSI. Saya telah memohon agar kerajaan persekutuan membuat penambahbaikan di kedua-dua pintu masuk negeri ini pada kadar yang segera. Untuk rekod, kerajaan negeri Johor telah merancang pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi ataupun mengurangkan secara minimum kesesakan ini pada waktu-waktu puncak sama ada di BSI ataupun KSAB. Agensi-agensi yang terlibat akan mengaktifkan pelan operasi pengurusan kesesakan trafik. Dan dari segi jangka panjang, Yang Berhormat Stulang, kita sedia maklum, RTS bakal siap pada tahun 2026. So, that is one of the long term plans untuk kita
pastikan bahawa ada kekurangan kesesakan BSI dan semalam, Menteri Pengangkutan dan saya telah merasmikan kita punya Shuttle Train daripada Johor ke Singapura. Ia boleh menampung penumpang sebanyak 7,000 orang sehari, so, ini juga akan membantu mengurangkan kesesakan di BSI.
Pada masa sama di BSI, lorong motosikal bakal ditambah daripada 50 lorong ke 75 lorong. Setiap satu peserta kaunter hybrid iaitu untuk motor manual dan M-bike. Keduanya, di lorong kereta pula kerajaan akan laksanakan system single loading double capacity bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter. Pengabungan kemudahan Touch n Go di kaunter Imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada bulan Febuari tahun depan. So, ini kita nak buangkan masalah no, tak ada orang nak man kaunter tu dia masuk, tak ada Pegawai Imigresen jadi dia masuk melalui Touch n Go sahaja. So, cop Imigresen pun tak ada.
Di dalam perancangan ialah membenarkan juga kenderaan ringan menggunakan laluan lori sebagai laluan kontra sebagai semasa waktu kesesakan. Ini turut melibatkan pengubahsuaian pada kaunter untuk kemudahan pemandu kereta. Pemasangan papan tanda yang menyatakan ketersediaan kaunter Imigresen untuk pemeriksaan. Ini sekali gus membantu menyuraikan trafik. Di KSAB pula, kaunter pemeriksaan Imigresen termasuk laluan kontra di zon ketibaan kereta di buka sepenuhnya sepanjang waktu kesesakan. Pembinaan 33 kaunter M-bike di zon motosikal masuk dan keluar. Pihak Imigresen juga telah memohon peruntukan di bawah RMK Ke-12 untuk menaik taraf dewan ketibaan dan pelepasan termasuk penambahan bumbung di kawasan parkir bas. Diharap rancangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya tetapi juga menyumbang kepada kesesakan dan keselesaan hidup rakyat dan pelancong. Feel good factor ini perlu dirasai oleh para pengembara dan secara tidak langsung berupaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Insya-Allah. Sekian, terima kasih.
Ya, sila Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Pertama sekali tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat di atas langkah-langkah dan penerangan yang telah diberikan tadi tentang mengatasi masalah kesesakan. Tahniah, cuma berkenaan dengan isu pencerobohan. Tadi, Yang Amat Berhormat ada terangkan tentang isu jangka pendek punya penyelesaian. Jadi, pada masa-masa yang akan datang apakah langkah-langkah yang telah kerajaan rancang atau akan ambil bagi menjaga sempadan dan kedaulatan negara dan juga negeri Johor ini khasnya? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Sebelum itu Yang Berhormat Speaker, saya terlepas satu soalan Yang Berhormat Stulang tanya tadi tentang isu tenaga buruh. Dan ia juga berkait rapat dengan apa yang Pulai Sebatang tanya tadi. Kedua-duanya adalah satu perkara yang melibatkan kerajaan persekutuan. Dan kadang-kadang seperti apa yang YB Perling sebut, certain isues perlu diselesaikan di peringkat negeri. One size does not fit all. Itu realitinya kerana di sempadan kita Yang Berhormat, ia merupakan antara sempadan yang tersibuk bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia. Bayangkan before the pandemic hampir 400,000 orang keluar masuk. Jadi, kerajaan pusat saya mohon supaya kita berikan lebih banyak penekanan supaya integriti dan maruah negeri ini tetap dijaga.
Dan menjawab soalan YB, saya akan berjumpa seperti saya sebut tadi, dengan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan juga PDRM untuk melihat lagi macam mana kita boleh memastikan isu integriti dan kebolosan ini tidak berlaku lagi dalam jangka masa panjang. Dari segi jangka pendek saya dah kongsi tadi, dari segi jangka masa panjangnya saya akan laporkan kembali.
Dari segi tenaga buruh Yang Berhormat Stulang tanya tadi, ini juga adalah isu nasional dan bukan tertumpu hanya di negeri Johor sahaja. Semua negeri menghadapi masalah tenaga kerja dalam pelbagai sektor. Apabila berbincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tempoh hari semasa lawatan beliau ke Johor, beliau telah beri jaminan bahawa perkara ini akan diselesaikan dalam masa sebulan. So, saya harap memang ada penyelesaian bersama-samalah kita nantikan penyelesaian tersebut. Insya-Allah. Sekian, terima kasih.
Saya buka satu lagi soalan. Saya jemput Mengkibol.
Terima kasih Tuan Datuk Speaker. Demi menyelesai masalah kesesakan di CIQ, singkatkan masa untuk melalui Kastam. Bolehkah, soalan tambahan saya, bolehkah kerajaan mengkaji konsep CIQ tunggal ataupun joint boundry. Ini satu konsep yang sangat berjaya dan sebenarnya dalam RTS yang akan datang dan juga HR Highspeed Rail yang ditangguhkan akan guna pakai konsep CIQ tunggal. Iaitu Kastam kedua-dua buah negara akan berada dalam bangunan yang sama. Ini telah terbukti satu cara yang berkesan di contohnya, Hong Kong, Macau dan juga sibuk Kastam dia dan juga contohnya Europe style. Jadi pelancong dia boleh melalui kastam kedua-dua buah negara di satu bangunan sama. Jadi, ini mungkin satu cara yang boleh menyelesaikan masalah kesesakan. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Mengkibol. Cadangan itu adalah cadangan yang cukup baik. Bukan sahaja di ITS yang akan di implement malah pada masa ini melalui perkhidmatan KTMB sudah kita implement sebenarnya. Dan untuk kenderaan, lori dan sebagainya, bas, itu saya akan berbincang dengan pihak Imigresen untuk penyelarasan dan saya akan laporkan kembali kepada Dewan Undangan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Machap. Saya jemput Yang Berhormat Pemanis.
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, ikan baung ikan gelama, soalan Pemanis nombor 2.
Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membantu guru-guru sekolah rendah dan menengah menangani masalah beban kerja di luar waktu mengajar di sekolah. Bolehkah diberikan insentif tambahan kepada mereka atau diperuntukan lantikan perjawatan baru dibawah kerajaan negeri di sekolah untuk atasi masalah ini?
Silakan.
Bismillahirahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pemanis tetapi pagi ini saya tak ada pantun nak balas, ok. Terlebih dahulu sebelum saya menjawab soalan Yang Berhormat Pemanis, saya ingin menyampaikan salam sayang dan jutaan terima kasih daripada warga pendidik kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz atas sumbangan bantuan bilik guru RM5,000.00 kepada seluruh sekolah di negeri Johor bersempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Jadi, yang mana kita maklum semua sumbangan sebanyak RM8.88 juta telah diperuntukan kepada setiap bilik guru di negeri Johor 1,190 dan 585 buah sekolah agama milik kerajaan Johor. Jadi, sebenarnya peruntukan ini adalah tanda sebagai penghargaan kerajaan negeri Johor kepada 53,130 orang guru di negeri Johor. Ini juga amatlah bertepatan dengan tema Hari Guru Kebangsaan pada tahun ini iaitu “Guru Tunjang Sekolah
Sejahtera”. Jadi terima kasih daun keladi Yang Amat Berhormat tahun depan Insya-Allah akan ada lagi.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa berusaha menjaga kebajikan guru-guru di sekolah rendah dan menengah khsusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran PDP dapat dilaksanakan dengan berkesan. Aktiviti di luar waktu PDP guru seperti bidang kokurikulum adalah sebahagian tugasan guru bagi melahirkan murid yang seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. JPN Johor akan memastikan setiap sekolah melaksanakan sebarang aktiviti khususnya di luar waktu mengajar dengan kebenaran Pejabat Pendidikan Daerah, JPN Johor selain pemantauan dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Pemanis, sehingga kini terdapat beberapa insentif tambahan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada guru-guru yang terlibat seperti pemberian elaun oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Yayasan J-Corp untuk program-program peningkatan Bahasa Inggeris kepada guru-guru yang terlibat. Program-program ini dijalankan menerusi kerjasama dan sokongan daripada JPN Johor melalui sektor pembelajaran melibatkan Unit Bahasa. Selain daripada itu juga Yang Berhormat, pelaksanaan program pembangunan bola sepak akar umbi DTC-JDT telah diadakan sejak tahun 2016 yang melibatkan peranan JPN Johor, Pejabat Pendidikan Daerah, PPD, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Majlis Sukan Negeri Johor, Pejabat Daerah dan sekolah-sekolah terpilih. Sebanyak 13 buah sekolah dan jurulatih dalam kalangan guru-guru. Sebanyak 38 orang guru telah diberikan elaun sebanyak RM400.00 sebulan yang dibayar oleh Kelab Bola Sepak Johor.
Bagi cadangan Yang Berhormat Pemanis untuk lantikan penjawatan baharu di bawah kerajaan negeri di sekolah-sekolah ini, cadangan ini perlu perhalusi terlebih dahulu kerana lantikan penjawatan baharu ini sudah tentu akan memberikan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri. Namun begitu, melalui program short term employement programme MySTEP. Perlantikan guru-guru MySTEP sedikit sebanyak dapat membantu untuk jangka masa pendek. Antara sebab pelantikan guru-guru MySTEP ini adalah disebabkan oleh guru cuti bersalin, guru sakit berpanjangan dan guru cuti tanpa gaji kurang setahun. Untuk makluman di negeri Johor sahaja bilangan guru MySTEP setakat ini adalah untuk sekolah rendah seramai 366 orang guru dan untuk sekolah menengah adalah seramai 294 orang guru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setakat ini pelantikan jawatan baharu guru-guru dan anggota kumpulan sokongan AKP di sekolah-sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah melalui lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Jadi, sekian terima kasih untuk jawapan.
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih kepada YB EXCO yang telah dapat memberikan jawapan terutamanya berkaitan dengan insentif dan juga cadangan pelantikan jawatan baharu. Selain daripada insentif dan cadangan pelantikan, saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri adakah sebarang usaha untuk membantu guru-guru yang mengalami tekanan kerja. Sebagai contoh, semalam kita khabarkan ada sebahagian daripada guru yang terpaksa bersara awal kerana tidak sanggup menghadapi tekanan kerja yang terlalu tinggi terutamanya di sekolah bila bebanan tugas yang sepatutnya mereka hanya mengajar tetapi dibebankan dengan kerja-kerja yang lain. Adakah diletakkan kaunselor atau pun diberikan kaunseling atau pun diberikan program rawatan jiwa kepada guru-guru yang terlibat dengan tekanan kerja ini? Terima kasih, Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pemanis atas soalan tambahan itu. KPM melalui JPN Negeri-Negeri ada menyediakan Kaunselor Pendidikan
Negeri dan Kaunselor Pendidikan Daerah. Kita sedia maklum tugasan guru memang mencabar, lebih-lebih lagi kita dalam era dua tahun, dua tahun dalam COVID-19 jadi, guru-guru yang menghadapi tekanan-tekanan ini akan berjumpa dengan kaunselor-kaunselor bagi mendapatkan pandangan dan bimbingan dalam mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Ini adalah antara bantuan dan usaha yang kerajaan jalankan ketika ini bagi membantu guru-guru yang menghadapi tekanan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, penyediaan kaunselor pendidikan negeri dan daerah merupakan antara salah satu usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan ketika ini. Untuk Sektor Psikologi dan Kaunseling (SPSK), merujuk Kaunselor Pendidikan Negeri (KPN) dan Kaunselor Pendidikan Daerah (KPD), ada dua program yang telah dijalankan di negeri Johor pada 1 Januari 2022 dan 23 Januari 2022, iaitu program Cakna Prihatin SPSK JPN Johor dan yang telah mensasarkan seramai 9 orang dan 3 orang Pegawai PPD, 5 orang guru, 1 AKP.
Jadi, ini adalah dua program yang telah dijalankan oleh kaunselor di negeri Johor ini. Selain daripada itu Yang Berhormat Pemanis, inisiatif kerajaan bagi membantu guru yang mengalami tekanan ialah melalui Program Pengurusan Stress Dalam Latihan Perkhidmatan (LADAP). Jadi selain daripada itu, Kursus Kesejahteraan Psikologi (PPP) menggunakan modul kesejahteraan diri KPM seramai 32 orang, bimbingan secara individu yang dilaksanakan oleh Kaunselor Pendidikan Daerah seramai 131 orang. Jadi, melalui ini kami cakna dan prihatin sentiasa dalam memastikan kebajikan guru-guru sentiasa diutamakan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti untuk bangsa Johor ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker.
Saya jemput Parit Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas jawapan dan usaha serta langkah-langkah yang telah dilaksanakan. Namun apa yang terpenting bila berkata tentang masalah beban kerja ini, sebenarnya datang daripada mana punca masalah beban kerja ini? Adakah ianya daripada Penilaian Bilik Darjah yang dilaksanakan ataupun PBD, kerana bila kita berkata tentang Penilaian Bilik Darjah ini dia kembali kepada suasana keadaan bilik darjah yang kondusif. Yang mana pada hari ini kita dapat melihat bangunan-bangunan sekolah yang lama perlu diselenggara dan ianya yang kerja yang kecil-kecil ditanggung oleh guru. Jadi, guru ini stress sebab apa ini? Adakah Penilaian Bilik Darjah ataupun apa nama, bangunan-bangunan yang perlu diselenggara dan adakah dengan ini usaha dan inisiatif pihak kerajaan untuk memberikan peruntukan baik pulih pada sekolah-sekolah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat YB Parit Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perjumpaan saya bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Radzi Jidin pada hari Jumaat yang lepas, saya juga telah membawa isu ini kepada beliau dengan mengatakan bebanan guru menjadi soalan utamalah untuk kita bawa bersama-sama. Jadi, kita faham dan kita amat prihatin berkaitan dengan perkara ini. Kami mahukan kerajaan persekutuan melalui KPM mengadakan atau pun sebenarnya bebanan guru ini tidaklah daripada suasana sekolah itu Yang Berhormat. Saya pun telah berjumpa dan masuk ke beberapa buah sekolah selama dua minggu ini dan rata-rata guru-guru memaklumkan bebanan guru ini adalah berpunca daripada kerja perkeranian yang terlalu banyak Yang Berhormat, jadi urusan kecerian sekolah, penglibatan PIBG dan PIBK sangat-sangat membantu untuk itu. Jadi, saya bawa isu itu kepada KPM dan KPM saya berharap dapat menyelesaikan isu ini. Sebenarnya isu ini dah terlalu lama pun Yang Berhormat, melalui kerajaan negeri memang kita dalam proses untuk memberikan sedikit peruntukan berkaitan dengan sekolah-sekolah yang memerlukan, seperti Yang Berhormat cakap tadi, beritahu tadi berkaitan dengan
sekolah-sekolah yang tidak diurus dengan baik. Jadi, Yang Berhormat itu sahaja jawapan daripada saya. Sekian, terima kasih.
Oleh kerana soalan ini penting juga ya. Saya benarkan Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan daripada saya, selain daripada tekanan dan ketidakstabilan emosi kerana tugasan guru dan juga YB EXCO telah mengatakan memang satu beban yang berat bagi kerajaan negeri sekiranya kerajaan negeri ingin membuat pelantikan jawatan guru. Tetapi bagi Tangkak, Tangkak berpendapat bahawa tugasan guru yang bertindan dan juga yang penting guru-guru kita perlu menjalankan kerja atau pun menyiapkan tugasan perkeranian. Ini salah satu tekanan atau pun beban yang diberi terhadap guru yang telah menjejaskan masa dan mengambil masa yang panjang bagi mereka selain daripada membuat persediaan untuk pengajaran tetapi mereka perlu menjalankan tugas kerani.
Jadi, adakah kerajaan negeri dari segi ini boleh membantu bagi contoh, memberi perjawatan kerani untuk membantu guru-guru menyelesaikan kerja-kerja perkeranian. Terima kasih.
Yang Berhormat Tangkak, kadang-kadang suami yang meragam di rumah pun boleh menyebabkan cikgu stress, ya. (Dewan ketawa.)
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat YB Tangkak atas soalan dan cadangan yang baik itu. Namun yang telah saya maklumkan tadi bagi cadangan lantikan apa sahaja di bawah kerajaan negeri ini perlu diperhalusi terlebih dahulu kerana yang pertama dia, itu adalah lantikan perjawatan baru dan yang kedua ia memberikan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri. Namun begitu, pelbagai perancangan yang akan diadakan bagi menangani isu ini. Kerana kita, yang mana saya telah menjawab tadi, untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, kebajikan guru menjadi keutamaan kami. Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.
Apakah tindakan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini untuk mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah?
Terima kasih Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Kerajaan amat prihatin dengan isu kenaikan harga barang dan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjalankan penguatkuasaan dalam pengawalan kadar kenaikan harga barang serta melalui langkah-langkah seperti berikut:-
1. Melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia sejak Januari 2022 iaitu inisiatif bantu rakyat bagi mendapatkan barang keperluan dengan harga yang lebih murah dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan pemain industri peruncitan setempat.
2. PJK menawarkan barang keperluan rumah asas seperti ayam, makanan laut, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras pada harga antara 15 hingga 20%
lebih murah berbanding harga pasaran untuk membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi mencabar ketika ini.
3. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian dan agensi lain terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam memastikan pengeluaran pemakanan dan barangan keperluan lain dijamin bekalan dan stabil harganya melalui libat urus berterusan dengan industri pengeluar, pengimport, pemborong, peruncit, Persatuan Pengguna dan lain-lain pihak.
4. KPDNHEP juga telah menyediakan aplikasi price catcher untuk membantu rakyat membuat perbandingan harga. Aplikasi tersebut memaparkan maklumat harga melebihi 480 barangan yang dikutip oleh 1,100 pegawai pemantau harga di seluruh negara antaranya 92 di negeri Johor secara harian, mingguan dan bulanan.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan maklumat harga terkini dan sentiasa dikemaskini dengan ciri-ciri terbaru bagi membantu pengguna merancang perbelanjaan.
5. KPDNHEP juga telah membangunkan satu aplikasi telefon pintar iaitu MySales Tracker yang bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna untuk membuat semakan aktiviti jualan murah di sekitar mereka. Pengguna boleh memilih untuk membuat carian pantas berkaitan jualan murah berdasarkan jenama ataupun premis melalui aplikasi tersebut.
6. Pengguna juga boleh terus membuat aduan melalui aplikasi yang sama sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti jualan murah secara palsu atau mengelirukan.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih kepada EXCO di atas jawapan yang diberikan. Pasir Raja ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri atas inisiatif bantuan beras Bangsa Johor sebelum ini.
Soalan tambahan saya adalah, adakah kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif sedemikian bagi membantu mengurangkan beban sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini dan apakah bantuan ini dapat diperluaskan lagi dengan barangan-barangan lain seperti tepung, minyak dan lain-lain yang kita tahu sekarang ini sangat meningkat harganya. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Kerajaan negeri yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sentiasa peka dan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan Bangsa Johor terutamanya permasalahan kos sara hidup yang semakin meningkat selain isu kenaikan harga barang keperluan yang tinggi.
Justeru pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor untuk membantu mengurangkan bebanan sara hidup Bangsa Johor. Selain menjalinkan kerjasama strategik dengan KPDNHEP Johor dan KPDNHEP Peringkat Persekutuan mengenai usaha-usaha memantau, mengawal dan menangani isu-isu berkaitan kenaikan harga, Kerajaan Negeri turut giat melaksanakan beberapa sesi libat urus yang melibatkan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, pemegang taruh mahu pun Jabatan dan agensi kerajaan bagi mengenalpasti permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian relevan, pragmatik dan holistik.
Bagi makluman Dewan yang mulia ini, antara cadangan inisiatif yang telah diutarakan adalah bantuan secara bersasar dan ia masih di peringkat kajian dan sekiranya ada keputusan akhir, kita akan maklumkan kepada Dewan yang mulia ini, tertakluk kepada kemampuan dan status semasa kewangan negeri. Terima kasih.
Saya jemput Paloh. Tadi Paloh ada bangun kan? Tak ada. Saya jemput Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, bila kita bercerita tentang isu harga asas yang kenaikan harga ini, antara sebabnya adalah kerana import makanan yang harganya terkesan kerana masalah-masalah global. Jadi, saya rasa sangat penting untuk kita juga berbincang tentang kedaulatan makanan sebagai contohnya raw materials dengan izin Tuan Speaker, machinery di mana kita sangat bergantung kepada pasaran global. Dan, untuk kita menjaga keselamatan dan kedaulatan makanan, kita perlu pastikan perkara-perkara seperti ini juga dihasilkan di dalam negara ataupun dalam negeri sendiri.
Soalan saya kepada YB EXCO, apakah rancangan kerajaan negeri untuk memastikan Johor ini mempunyai kedaulatan makanannya sendiri dan apakah perkembangan penggubalan Dasar Agro Makanan Negeri Johor? Terima kasih YB Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa. Saya merujuk kepada kenyataan rasmi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 Mei 2022 dan juga kenyataan pada 13 Jun 2022 bahawa Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri mengenai untuk melibatkan GLC dan juga kerajaan negeri dalam isu-isu berkaitan food security. Antaranya berbincang dengan kerajaan negeri mengenai pemberian lesen TOL kepada untuk mempelbagaikan penanaman di negeri ini dan jawapan ini akan seterusnya akan dibangunkan Jawatankuasa Pertanian ataupun kepada Dewan yang mulia ini. Terima kasih.
Saya persilakan Yang Berhormat Kukup.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker. Pat pat siku lipat, soalan saya nombor 4.
Berapakah jumlah elaun yang dibayar oleh kerajaan negeri kepada imam, bilal dan noja serta bilakah kali terakhir elaun ini disemak dan dinaikkan. Adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun imam, bilal dan noja dalam masa terdekat?
Oleh kerana saya benarkan jawab bersekali, saya juga jemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.
Bilakah kali terakhir kerajaan menaikkan kadar elaun imam dan bilal masjid dan surau negeri Johor? Mohon kerajaan negeri menaikkan kadar elaun baru selaras had gaji minimum RM1500.00.
Silakan.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup dan Maharani atas
soalan yang diberikan. Datuk Speaker, saya akan menjawab secara bersekalikan dengan soalannya berkaitan elaun imam, bilal dan noja adalah soalan yang hampir serupa.
Untuk makluman Dewan yang mulia, kerajaan negeri Johor amat prihatin dalam meninggikan syiar Islam di bumi Johor melalui pengimarahan surau dan masjid di seluruh Negeri. Untuk tujuan tersebut, ada seramai 5,710 orang pegawai masjid untuk memegang jawatan imam, bilal dan noja di 838 buah masjid dan 1,961 buah surau yang sedia ada. Bagi menghargai khidmat pegawai-pegawai masjid dan surau tersebut, kerajaan juga memberikan elaun bulanan kepada mereka. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM12.6 juta setahun dari kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Di samping itu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, memperuntukkan RM15.4 juta setahun elaun pegawai masjid iaitu Imam 1 dan Imam 2. Jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan JAKIM untuk elaun bulanan tahun 2022, sebanyak RM28.032 juta setahun.
Mari saya kongsikan kadar elaun yang diterima oleh pegawai masjid dan surau di negeri Johor. Bagi masjid Imam 1 dan Imam 2, dibayar oleh JAKIM. Manakala 2 lagi pegawai, dibayar oleh kerajaan negeri dan juga MAIJ iaitu bilal dan juga noja. Jumlah Imam 1 dan Imam 2 elaunnya sebanyak RM850.00. Bagi bilal dan noja, bilal mendapat RM100.00, noja RM80.00. Bagi surau, imam mendapat RM100.00 dari kerajaan negeri dan bagi bilal RM50.00 dari kerajaan negeri dan noja tiada elaun.
Bagi maksud kenaikan harga barang dan elaun dan juga inflasi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah pun membuat cadangan bagi semakan dan cadangan kenaikan elaun ini. Sememangnya kerajaan negeri berhasrat untuk meningkatkan elaun dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing.
Antara cadangan penambahbaikan kadar elaun pegawai masjid adalah seperti berikut:-
Bagi maksud Imam 1 dan Imam 2 kerana mereka dibayar oleh JAKIM, tiada kenaikan yang dicadangkan. Bagi Bilal 1, elaunnya RM100.00; dicadangkan untuk dinaikkan RM200.00. Bagi Bilal 2 yang tidak mempunyai elaun sebelum ini, juga dicadangkan untuk diberikan RM200.00. Bagi Noja 1, RM80.00 sebelum ini, dicadangkan untuk dinaikkan RM160.00. Dan bagi Noja 2 yang tidak langsung menerima elaun sebelum ini, dicadangkan untuk dinaikkan RM160.00. Bagi surau, Imam 1 yang menerima RM100.00, dicadangkan untuk dinaikkan RM200.00. Bilal 1 yang hanya menerima RM100.00, akan dicadangkan untuk kenaikan pada RM200.00. Noja yang sebelum ini tidak menerima elaun, dicadangkan untuk diberikan RM100.00.
Walaupun kenaikan pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan dan kertas cadangannya dikemukakan sedikit waktu lagi, pegawai-pegawai masjid dan surau di negeri Johor telah pun menerima bantuan One-Off sebanyak RM500.00 seorang daripada JAKIM yang melibatkan peruntukan RM1.3 juta dan RM500.00 lagi daripada kerajaan negeri di bawah inisiatif bantuan kasih Bangsa Johor Bilangan 1 2022 bagi 2022 yang melibatkan peruntukan RM2.295 juta.
Sebagai makluman tambahan, negeri Johor adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang memberikan elaun bulanan kepada imam dan bilal surau (Dewan bertepuk,) yang mana di negeri-negeri lain hanya memberikan elaun kepada pegawai masjid sahaja. Walau bagaimanapun, elaun pegawai surau tidak terlalu tinggi tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak ditinggalkan dari sudut kebajikan. Terima kasih Datuk Speaker.
Sila Kukup.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah memberi elaun kepada imam dan juga noja surau ataupun bilal. Namun yang demikian, kita tidak boleh menyatakan elaun itu sudah memadai dan mencukupi kerana mereka masih lagi berada dalam taraf kemiskinan, kalau nak diikutkan pendapatan. Hasrat kita di kawasan-kawasan di kampung, kita memerlukan surau dan masjid ini diimarahkan dengan pelbagai aktiviti dan juga menarik lebih ramai masyarakat untuk berada di kawasan masjid dan surau.
Persoalannya di sini ialah mengapa tidak kerajaan negeri menstrukturkan semula kedudukan imam dan surau ini setidak-tidaknya menubuhkan sebuah akademik untuk memastikan imam dan surau ini benar-benar dilatih dengan mengambil graduan-graduan daripada MAAHAD dan juga sekolah-sekolah tahfiz bagi memastikan imam surau di negeri Johor ini lebih terjurus kepada pembangunan ummah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan tambahan. Suka dinyatakan bahawa sememangnya semua imam dan pegawai masjid/surau di negeri Johor mendapat tauliah daripada kerajaan negeri. Kita amat prihatin atas keadaan kewangan ketika ini. Dan saya percaya kerajaan negeri akan sentiasa akan membuat penambahbaikan dari segi elaun pada masa yang akan datang. Bahkan di bawah portfolio saya, ianya sedang pun dalam kertas cadangan untuk dimajukan kepada pihak kerajaan.
Di samping elaun tersebut, kerajaan negeri juga melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor sentiasa memberikan bantuan-bantuan mengikut keperluan masjid terutama bagi maksud pembaikpulihan dan juga keperluan kemudahan asas secara berkala. Kita percaya kemudahan yang baik dan kebajikan yang terjaga di kalangan pegawai masjid akan memastikan tugasan mereka lebih baik bagi maksud pengimarahan surau dan juga masjid.
Bagi tujuan melatih golongan mahasiswa para pelajar menjadi imam ataupun pegawai masjid yang terlatih di masjid dan surau dalam negeri Johor. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, bahawa di dalam kendalian MARSAH yang telah pun dinaik taraf sebagai Kolej Universiti telah pun wujud beberapa kursus-kursus yang akan membuka peluang kepada pelajar MARSAH itu sendiri pada ketika ini untuk mereka sebaik sahaja bergelar graduan, mereka juga layak untuk mendapat pensijilan yang akan ditauliahkan sebagai imam juga pegawai masjid yang bertauliah bagi negeri Johor. Ini antara usaha kerajaan untuk memastikan imam bagi masjid dan surau bagi negeri Johor merupakan mereka yang bukan sahaja mahir dalam bidang agamanya tetapi juga terlatih dari segi pentadbirannya. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Saya jemput Maharani, sila.
Terima kasih pada YB EXCO Agama dan juga kepada YB Kukup yang telah pun bersetuju dengan beberapa perkara. Jadi, di sini ingin saya menyentuh mengenai bagaimanakah untuk memartabatkan kedudukan imam, bilal dan noja dan dicadangkan supaya dikaji semula dan digantikan dengan gaji asas, ditukarkan daripada elaun kepada gaji asas berdasarkan kepada pengalaman dan juga kepada kelulusan masing-masing? Dan yang keduanya, berkaitan dengan kedudukan kedai-kedai di kawasan masjid dan juga mungkin ada di setengah-setengah surau yang mempunyai pendapatan bagi menyediakan elaun pada bilal, imam dan juga noja. Sedangkan kedai-kedai tersebut sekarang ini sudah ditutup dan tidak boleh digunakan. Dan adakah pihak negeri boleh menyediakan cadangkan bagaimanakah cara untuk membuka ataupun menambahbaikkan kedai-kedai tersebut supaya dapat memberikan pendapatan kepada pihak masjid? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat atas soalan yang diberikan. Sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, kerajaan negeri amat prihatin atas tingkat elaun yang ketika ini diberikan yang bagi maksud tersebut ketika kewangan negeri masih belum stabil sepenuhnya, kita tetap memikirkan kadar kenaikan yang sesuai pada masa kini. Dan pastilah kebajikan pegawai masjid menjadi keutamaan, itu yang pertama.
Bagi maksud berniaga dalam kawasan masjid. Sepertimana yang kita maklum, telah ada ketetapan untuk tidak membenarkan perniagaan dibuka dalam kawasan masjid. Kena bezakan dalam kawasan masjid kita khususkan bagi maksud kawasan parking dan kawasan keselesaan penggunaan masjid. Walau bagaimanapun, qariah masjid boleh membuka perniagaan mereka di luar kawasan masjid iaitu berhampiran dengan kawasan masjid. Bahkan telah ada pun sebahagian masjid yang mematuhi ketetapan ini. Mereka mengecilkan sedikit ruang parkirnya bagi maksud membuatkan satu boarder ataupun barrier di antara kawasan masjid utama dan kawasan luar masjid di sebelah masjid yang kini telah dibuat beberapa pembinaan kedai-kedai. Ini adalah bagi maksud menjaga kebersihan masjid. Bagi maksud menjaga suasana masjid yang lebih selesa tetapi dalam masa yang sama kita tidak langsung menghalang perniagaan dengan syarat ianya berlaku di luar kawasan masjid tapi boleh berhampiran dan dekat dengan masjid. Saya kira pendekatan perniagaan ini baik untuk dibuat bagi maksud menambahkan pendapatan dan ada juga sebahagian masjid yang mempunyai tabungan yang baik, mereka membuat penambahan kepada elaun-elaun yang diterima oleh pegawai-pegawai masjid. Terima kasih atas soalan yang diberikan. Datuk Speaker, saya mohon menjawab.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan Yang Berhormat Semarang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya no. 6.
Apakah perancangan dan status penambahbaikan Jalan Persekutuan Laluan FT01 Ayer Hitam ke Chaah?
Yang Berhormat, sebelum Yang Berhormat jawab saya nak tanyalah apa maksud TS di depan nama Yang Berhormat tu?
Technologist.
Ya?
Technologist.
Ok. Saya ingatkan maksudnya tetap senyum ke, tu nak tanya tu.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, technologist ni dia acknowledge by AIM Board Malaysia Board of Technologist so saya sebagai ahli mempromosikanlah untuk Ahli-Ahli Dewan untuk mendaftar sebagai member of the board.
Terima kasih Yang Berhormat Semarang. Izinkan saya menjawab Tuan Speaker. Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan keadaan jalan raya selamat pada pengguna bagi jalan yang dinyatakan Yong Peng-Segamat iaitu laluan persekutuan. Jajaran ini pernah dinaik taraf oleh JKR pada tahun 2002 dan siap pada 17 Ogos 2007 yang mana skop dicadangkan
pada mulanya direka bentuk 4 lorong. Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan peruntukan pada ketika itu pelaksanaan projek ini hanya dilaksanakan pada 2 lorong sahaja. Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya telah mengemukakan permohonan projek baru bagi Rancangan Malaysia Ke-12, RMK 12, Rolling Plan 1 dengan tajuk membina semula jalan dari Gemas ke Ayer Hitam fasa 3 persimpangan Ayer Hitam ke Kampung Seri Sepakat. Namun sehingga kita masih belum diluluskan tapi insya-Allah, Jabatan Kerja Raya akan sentiasa mengemukakan semula permohonan ini dalam Rolling Plan yang akan datang sehinggalah projek ini diluluskan oleh kerajaan persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pembaikan jalan berskala besar, seperti menurap semula jalan. Skop ini telah dikeluarkan dari perjanjian kerajaan dan pihak konsesi pada tahun 2018 yang lalu bagi memberi ruang kepada satu kontrak baru yang dikenali sebagai kontrak, performance - contract (FPBC) yang telah pun ditandatangani pada 16 Jun yang lalu dan insya-Allah akan mula kerja di tapak pada tahun 2022 pada bulan Julai ini akan bermula kerja di tapak yang mana ia akan dilaksanakan ke atas jalan FT1, FT003 dan juga FT005. Namun begitu, sepanjang tempoh masa 4 tahun tiada kontrak ini pihak kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya telah juga melaksanakan kerja-kerja menurap semula melalui sebut harga di lokasi-lokasi di 4 lokasi pada tahun 2020. Sebanyak lebih kurang peruntukan RM1 juta. Dan untuk makluman Yang Berhormat Semarang, Jabatan Kerja Raya telah mengangkat senarai permohonan untuk tahun 2022 bagi jalan-jalan yang akan saya nyatakan ini.
1. Taman Seri Wangi hingga Shell Yong Peng sepanjang 2 kilometer dengan anggaran kos RM1.5 juta.
2. Shell Yong Peng hingga Jambatan Sungai Temehel sepanjang 2 kilometer dengan anggaran kos RM1.5 juta.
3. Tol Yong Peng Selatan sehingga Taman Seri Wangi sepanjang 1 kilometer, RM1.5 juta.
4. Sekolah Kebangsaan Sri Bulan hingga Kilang BYC sepanjang 1 kilometer, RM1 juta.
5. Kampung Parit Bonagong hingga Surau Batu 5, 1 kilometer, RM1 juta.
6. Jambatan Sungai Temehel hingga Tol SWM sepanjang 2 kilometer, RM1.5 juta, dan
7. Kampung Haji Mean hingga Tanaman Greenway sepanjang 1 kilometer berharga RM1 juta.
Di mana keseluruhannya ialah sebanyak RM9 juta dan insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Semarang kerja-kerja untuk kawasan yang Berhormat akan dimulakan pada 15 Julai ini dan dijangka siap pada 31 Ogos tahun 2022.
Bagi jajaran di bawah JKR Segamat kerja-kerja baik pulih telah pun dilaksanakan daripada Kampung Desa Temu Jodoh Chaah sehingga Kampung Kwong Sai sebanyak 40 kilometer dengan nilai RM92.5 juta yang siap pada tahun 2020 dan sekarang masih lagi dalam tempoh tanggungan kecacatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, buah durian daun selasih, sekian, terima kasih.
Semarang ada, tak ada?
Kalau Semarang tak ada sementara, boleh saya tanya soalan.
Tapi mesti berkaitan Ayer Hitam.
Berkaitan sikit kerana saya pernah bertanding di kawasan Ayer Hitam. Soalan saya hampir dekat ialah berkenaan FT50. FT 50 dari Batu Pahat ke Kluang melalui Ayer Hitam adakah apa keadaan FT itu? Terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Yang Berhormat Perling. FT50?
FT50. Ia berkaitan.
FT50, untuk makluman Yang Berhormat FT 50 masih lagi dalam kontrak biasa yang mana ia ada kontrak penyelenggaraan rutin, penyelenggaraan berkala dan juga penyelenggaraan kecemasan. Sebenarnya semua kawasan-kawasan yang kalau Yang Berhormat lihat rosak memang ada dalam jadual kita dan insya-Allah dalam kita punya nilah. Dan, difahamkan kita ada peruntukan sebanyak RM200 juta untuk jalan itu dibaiki untuk masa akan datang. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Stulang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya no. 7.
Banyak kemudahan tandas awam di pasar dan taman-taman rekreasi didapati tidak diselenggara dengan baik dan kotor. Adakah kerajaan Johor akan memantau dan mengenal pasti kemudahan-kemudahan yang perlu dibaiki dan diselenggara untuk keselesaan para pengguna?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan ini suka untuk saya memaklumkan kepada Ahli Dewan bahawa tidak semua tandas awam diselenggara oleh pihak kerajaan negeri. Terdapat bangunan milik PBT yang telah disewakan dan tandas adalah di bawah penyelenggaraan pihak swasta.
Untuk makluman, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT telah menyediakan pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 3 tahun 2012 garis panduan star rating kebersihan tandas kegunaan awam di kawasan PBT, yang bertujuan memberi penjelasan serta panduan pada PBT mengenai kaedah pelaksanaan star rating kebersihan tandas kegunaan awam di kawasan PBT bagi menghasilkan tatacara penyelenggaran dan pengurusan tandas yang lebih berkesan. Di samping itu, PBT juga sentiasa melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas semua tandas awam bagi mengenal pasti kerosakan tandas, kemudahan-kemudahan yang perlu dibaiki, kerosakan kecil yang dikenal pasti akan dibuat pembaikan serta merta. Manakala bagi kerosakan yang berskala besar akan dilaksanakan berdasarkan perancangan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam di lokasi yang berkaitan.
Tandas awam di kawasan PBT juga sering kali menghadapi masalah vandalisme walaupun kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dilaksanakan namun sikap dan kepihatinan pengguna masih berada di tahap yang rendah. PBT negeri Johor akan sentiasa berusaha untuk memastikan tahap kebersihan dan kemudahan tandas awam berada dalam keadaan baik dan bersih serta mencapai penarafan bintang yang tinggi. Selain itu, adalah turut menjadi harapan agar semua pihak dapat bersama-sama memupuk dan mendidik rakyat
dan masyarakat berkenaan kepentingan menjaga kebersihan serta harta benda awam. Terima kasih.
Terima kasih YB EXCO atas jawapan yang diberikan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tandas ini, tandas awam ini sama ada di pasar atau taman-taman rekreasi ini merupakan imej pada PBT ataupun hak milik kawasan tersebut. Jadi, tanggapan orang ramai kadang-kadang, tandas awam kotor, tak diselenggarakan. Jadi, saya rasa tandas awam ini bukan sekadar bersih atau diselenggara, saya rasa adalah perlu untuk dia cukup selesa dan juga cantik. Jadi, kerana pasar dan taman rekreasi ini merupakan tempat di mana Ahli-Ahli boleh membawa ahli-ahli keluarga untuk beriadah dan bersama-sama dengan keluarga. Jadi, adakah saya rasa, adakah kerajaan atau PBT, kerajaan negeri Johor boleh menetapkan satu matlamat atau hala tuju bahawa tandas Johor ini mesti bersih? Bila orang luar datang, pelancong luar datang. Dia cakap, ‘ Oh, tandas Johor bersih’. Jadi, untuk mencapai matlamat tersebut adakah Jawatankuasa kerajaan, PBT tempatan boleh contohnya, mengadakan pertandingan tandas bersih di seluruh Johor sama ada milik PBT atau telah pun diswastakan untuk menjadikan tandas kita ini bersih. Jadi, imej orang cakap Johor tandas adalah bersih. Kerana bila kita pergi ke luar negara, pergi melancong dan sebagainya kita tengok tandas dia bersih, selesa. Jadi, saya rasa kalau matlamat ini boleh dipertingkatkan dan juga boleh mengadakan pertandingan dan apa-apa usahalah, saya rasa yang dirasakan sesuai oleh kerajaan negeri Johor dan juga EXCO untuk mencapai matlamat tandas awam kita bersih. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Ini tanggapan, tanggapan ya, ok. Tanggapan awam. Namun begitu, saya ingin menjawab sebenarnya diperingkat, kita patut berbangga negeri Johor ini, diperingkat PBT Muar, kita mendapat pengiktirafan Bandar Bersih Asian ya. (Dewan bertepuk.) Bandar Bersih Asian. Yang kedua, saya ingin memaklumkan tentang diperingkat PBT kita ada star rating tandas awam, ok. Untuk makluman Yang Berhormat untuk sebuah tandas awam ditarafkan atau ditarifkan sebagai 5 bintang antara aspek utama yang dinilai ialah keadaan persekitaran yang merangkumi bekalan air, rawatan kumbahan, tangki septik, pengudaraan, pencahayaan yang mencukupi, struktur dan penyelenggaraan kebersihan lantai, dinding dan mangkuk tandas, kemudahan sanitari yang lengkap dan aktiviti pembersihan tandas yang kerap sebanyak 3 hari sekali. Dan selain itu, penilaian pengauditan yang perlu dilaksanakan setiap 3 bulan oleh PBT.
Dan, untuk makluman Yang Berhormat, kita diperingkat KPKT dan di peringkat PBT juga kita ada julat permarkahan. Sebagai contoh, untuk mendapat 5 star perlu dikategorikan sebagai amat bersih di mana markah diberikan 91% - 100%. Ada 13 kriteria kursus di bawah 3 tajuk.
1. Keadaan Persekitaraan.
2. Struktur Penyelenggaraan Kebersihan dan;
3. Alat Kemudahan Sanitasi.
Dan, untuk cadangan Yang Berhormat nanti kita akan pertimbangkan. Terima kasih.
Ya, saya jemput Senai.
Selamat pagi, selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya, bukan sahaja fasiliti tandas awam, tetapi juga fasiliti yang lain di taman rekreasi seperti alat-alat permainan yang sudah rosak dan juga tidak memuaskan sampai membahayakan kanak-kanak semasa main di sana. Jadi, soalan tambahan saya apa status terkini di bawah Program Rakan Taman, di bawah KPKT dan juga apa peranan
Ahli Majlis dalam memantaukan fasiliti yang dirosakkan seperti vandalisme dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih kepada Senai. Saya hendak betulkan sedikit tentang peranan Ahli Majlis. Peranan Ahli Majlis bukan untuk menjaga fasiliti seperti taman permainan, Ahli-Ahli Majlis ini tanggungjawab dan fokus utama dia adalah membuat dasar-dasar di peringkat PBT. Dasar-dasar yang mengutamakan di peringkat kepentingan pembayar-pembayar cukai. Namun begitu, saya faham maksud Yang Berhormat bahawa terdapat juga di taman-taman yang taman permainannya telah rosak, tetapi daripada rekod yang kita terima ini banyak disebabkan oleh vandalisme namun begitu kita akan melihat perkara ini. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Tanjung Surat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.
Berapakah kadar pengangguran negeri Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga suku pertama 2022 serta apakah langkah-langkah untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat berikan saya, mengemukakan pertanyaan kepada saya pada pagi ini.
Yang Berhormat Tanjung Surat untuk makluman Yang Berhormat mengikut sumber maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran negeri Johor bagi tempoh Januari 2021 sehingga suku pertama 2022 adalah sebanyak 3.2% iaitu turun 0.7% berbanding 3.9% yang direkodkan pada suku sama tahun 2021. Sementara itu, bilangan penganggur di negeri Johor pada suku pertama tahun 2022 adalah seramai 58,600 orang. Berkurangan 12,200 berbanding 70,800 orang penganggur pada suku pertama tahun 2021.
Yang Berhormat, justeru itu untuk makluman Yang Berhormat Tanjung Surat, Unit Strategi Modal Insan Johor telah dan sedang mengadakan program-program latihan kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan juga hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media sosial jabatan. Inisiatif menghebahkan peluang bagi pekerjaan kepada seluruh rakyat di negeri Johor. Berikut saya kongsikan perincian untuk setiap program yang saya nyatakan tadi untuk makluman Yang Berhormat.
Pada tahun 2022, Unit Strategi Modal Insan atau lebih dikenali SMI menyasarkan sebanyak 1,169 orang akan mendapat manfaat daripada penyertaan kursus kemahiran dalam pelbagai bidang dan peluang penempatan pekerjaan. Menerusi program latihan kemahiran Johor yang merangkumi empat program utama iaitu Johor Up Skilling dan Re-skilling. Johor skill oil dan gas, latihan lepasan siswazah dan pensijilan tenaga mahir. Dan, menerusi program ini sebanyak 44 kursus ditawarkan kepada golongan sasar seperti lepasan sekolah, graduan, mereka yang diberhentikan kerja dan sedang mencari kerja. Objektif daripada pelaksanaan program ini ialah peserta mendapatkan mengguna sijil kemahiran yang diperolehi untuk meningkatkan pendapatan diri. Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO sedikit soalan tambahan daripada saya. Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO banyak melaksanakan inisiatif dan insentif peluang pekerjaan. Apakah usaha yang sedang dan akan dilakukan oleh PERKESO dan adakah Yang
Berhormat EXCO melihat inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia ini mampu membantu kumpulan pencari kerja dan penganggur di negeri Johor ini?
Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Insya-Allah di bawah SMI, Strategi Modal Insan Johor, hari ini sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengadakan tiga program untuk mencari peluang pekerjaan kepada sesiapa yang sedang mencari. Di zon tengah, program yang bakal diadakan di Kluang pada Julai 2022, di zon utara program akan diadakan di Muar pada Ogos 2022 dan di zon selatan program akan diadakan pada September 2022.
Bagi soalan tambahan itu juga saya tambah, Yang Berhormat Tanjung Surat. Yang Berhormat Datuk Speaker terima kasih soalan yang diberikan untuk makluman Yang Berhormat Tanjung Surat, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO sentiasa berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran. Antaranya dalam Belanjawan 2022, PERKESO telah diberikan peruntukan sebanyak RM2.0 bilion bagi melaksanakan jaminan kerja. Insentif pengajian di bawah sistem insuran pekerjaan yang dijangka akan manfaatkan 300,000 pencari kerja diseluruh negara. JKIP memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerjaan terutama dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan. Dan, untuk memastikan tiada golongan yang dipinggirkan, program JKIP memberi insentif kepada semua bakal-bakal pencari kerja. Terima kasih Yang Berhormat.
Oleh kerana kita ada 1 minit lagi saya hendak benarkan Yang Berhormat Johor Jaya mengemukan soalan. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan nombor 9.
Nyatakan maklumat dan bilangan Bilik Mama Friendly yang sedia ada serta rancangan program ini bagi tahun 2022 dan 2023.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terlebih dahulu Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Johor Jaya kerana telah mencetuskan idea yang amat baik ini iaitu mewujudkan bilik menyusukan bayi di tempat kerja khusus kepada golongan ibu bekerja yang dikenali sebagai bilik Mama Friendly pada tahun 2019. Inisiatif ini telah disambut baik dan telah mendapat sokongan penuh dari semua sektor kerajaan mahupun swasta bagi kegunaan kakitangan wanita, ibu-ibu yang masih dalam tempoh menyusukan bayi.
Justeru, bagi menjawab soalan YB Johor Jaya, Yang Berhormat Datuk Speaker, projek Mama Friendly ini merupakan satu projek yang diumumkan dalam Bajet 2019 di bawah Bajet Pembangunan Titik Fokus 141, pelaksanaan mewujudkan bilik Mama Friendly ini telah mendapat sokongan yang dari pelbagai pihak. Datuk Speaker, bilik Mama Friendly ini merupakan satu inisiatif kerajaan negeri Johor sebagai bilik penyusuan dan mengepam susu. Bilik Mama ini diadakan untuk menyokong dasar penyusuan susu ibu dengan menyediakan bilik menyusu dalam usaha menggalakkan ibu bekerja agar menyusu anak dengan susu ibu sahaja. Sepanjang 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga anak itu berumur 2 tahun. Jadi, di antara objektif penubuhan bilik Mama Friendly itu memberi lebih motivasi dan galakkan kepada golongan ibu bekerja untuk terus bekerja dan pada masa yang sama dapat menguruskan urusan sebagai seorang ibu bekerja dan
menjaga kebajikan dan memberi kemudahan kepada ibu bekerja yang masih menyusukan bayi mereka agar dapat mengepam susu dalam keadaan yang selesa dan pada masa yang sama produktiviti dalam pekerjaan dapat dilaksanakan dengan baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 62 bilik Mama Friendly telah dilaksanakan diseluruh daerah di negeri Johor. Sebanyak 52 bilik bagi tahun 2020 dan ditambah lagi pada tahun 2021 sebanyak 21 bilik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab perancangan bilik Mama Friendly pada tahun 2023 iaitu membuat promosi dan pengiklanan mengenai kebaikan menyusu ibu kepada wanita pelbagai kaum dalam media sosial, laman sesawang dan lain-lain platform. Kedua, mengadakan kempen kesedaran mengenai penyusuan ibu dan membantu ibu-ibu memahami kepentingan dan menggalakkan susu ibu kepada bayi sekurang-kurangnya 6 bulan tempoh kelahiran. Seterusnya, sentiasa membuat pemantauan dan analisa kekerapan penggunaan bilik Mama Friendly selepas pandekmik COVID-19 dan sentiasa menambahbaik fasiliti bilik yang sedia ada agar lebih kondusif dan selesa. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya benarkan satu lagi soalan tambahan sahaja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Terima kasih atas jawapan ini. Program ini memanglah satu program serupa baby saya semasa dalam kerajaan Pakatan Harapan. Soalan tambahan saya sebenarnya oleh sebab kesuntukan masa saya cuma ada satu mungkin permintaanlah, so, saya dengan di sini bilik Mama Friendly ini memang dapat sambutan yang baik terutamanya di pihak sekolah. So, dengan ini saya minta penubuhan bilik Mama Friendly dalam kawasan Johor Jaya. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Johor Jaya, YPKDT sentiasa membuat kajian dan pemantauan dan menambahbaik analisa dan meneruskan tambahan demi kebaikan wanita, ibu dan anak-anak kita, YPKDT terus utamakan. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.25 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi. Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat Perbahasan disambung semula. Sebelum ini ingin saya membuat sedikit ingatan. Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu lebih berhati-hati apabila menyebut gelaran rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Raja. Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat merujuk kepada pihak yang tertentu sebelum berucap, kerana Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah contoh kepada yang lain. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya jemput Yang Berhormat Sedili, silakan.
Bismillahirahmanirahim.
20 minit.
(Doa) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker dan
Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini. Saya mulakan dengan serangkap pantun, Sedili Besar ke Belukar Durian, Gugusan Waha ke Tenggaroh Selatan, Sedili bangun mengambil giliran, Titah Tuanku Pembukaan Dewan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker memberi giliran kepada saya mengambil bahagian dalam bahas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-15. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan tahniah atas perlantikan Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Puad Zarkashi selaku Speaker Dewan Negeri yang baru dan juga Yang Berhormat Datuk Samsolbari bin Jamali selaku Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri yang baru. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah atas penganugerahan darjah kebesaran sempena hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang membawa gelaran kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, tahniah sekali lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ketidaktentuan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan selepas PRU yang ke-14 memberi impak besar kepada Sedili. Bukan sekadar episod lompat melompat, yang lebih penting adalah kelangsungan kehidupan rakyat di kawasan saya. Kegiatan ekonomi utama penduduk dalam DUN Sedili adalah mereka yang mengusahakan kebun-kebun sawit dan di Sedili terdapat 6 buah tanah rancangan FELDA, 1 rancangan FELCRA, 12 kampung tradisi yang telah amat terkesan dengan kejatuhan harga buah tandan segar kepada RM250.00 setiap tan pada ketika itu. Belum sempat kami mengatur pendapatan tambahan dan kerja alternatif bagi kelangsungan kehidupan, satu negara pula dilarang bekerja. Kita pasti masih ingat pelaksanaan PKP, PKPB, PKPD dan PKPP.
Alhamdulillah dengan berkat kesabaran selepas mengharungi waktu-waktu sukar kami merasa nikmatnya sekarang dengan harga buah tandan segar mencecah RM1,500.00 setiap tan. Alhamdulilah nasib baik cepat tukar kerajaan. (Dewan bertepuk.) Walau bagaimanapun Yang Berhormat Datuk Speaker, cabaran terkini adalah kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan terutama di kawasan ladang sawit, kelapa sawit ini. Perkara ini dilihat sangat membimbangkan kerana ia sangat berkait rapat dengan poket rakyat, bila hasil tidak dapat dijual sudah tentu pendapatan pun berkurangan. Bila hasil kita tak dapat apakah mungkin ada inisiatif baru dari pihak berwajib bagi menggalakkan penyertaan dan menambah minat terhadap industri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili sentiasa diuji dengan terputusnya bekalan air bersih. Penduduk mengambil inisiatif mengurus penggunaan air waktu puncak terutamanya semasa perayaan baru-baru ini. Semua ketua-ketua keluarga diberi ingatan agar membuat simpanan air bersih bila menghadapi penggunaan waktu puncak, kami faham dan kami uruskan keperluan air di waktu puncak ini, contohnya di musim perayaan. Kami sedar dulu satu rumah ada 6 orang, sekarang satu rumah dah ada 18 orang, agaknya, itu kami urus. Tidak kiralah tadah pakai kolah, pakai tadah menggunakan tangki, bahkan tadah pakai baldi pun kami adakan.
Tetapi yang kami sangat perlukan perhatian adalah bekalan air bersih sering terganggu selain waktu puncak. Bila disiasat loji air kering. Ini kita belum kira penambahan rumah-rumah generasi baharu FELDA yang baru-baru ini diberikan lot-lot FELDA yang akan membina rumah satu hari nanti. Oleh yang demikian saya selaku Wakil Rakyat N36 Sedili perlukan penelitian pihak berwajib agar dapat dengan penuh rasa nikmat memberi sepenuh perhatian dan dalam perkara ini bagi mempastikan keselesaan rakyat terjamin sesuai dengan kutipan cukai yang telah dikutip oleh kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya permasalahan rumah generasi baru FELDA PGBF di FELDA Aping Timur iaitu di kawasan saya. Terdapat satu projek oleh agensi persekutuan yakni FELDA yang masih terbengkalai. Sesuai dengan ikhtiar Johor yang akan menubuhkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, saya berharap perkara ini dapat dikoordinasikan dan diselesaikan dengan secepat yang mungkin. Perkara ini amat penting kerana ianya akan mengundang masalah lain sekiranya binaan ini terbengkalai dan tidak diurus segera. Daripada mampu menjadi kawasan komuniti baru, ianya akan bertukar menjadi isu keselamatan dan pencemaran, sebab lokasi perumahan ini terbengkalai ini berada di dalam kawasan kampung FELDA Bukit Aping Timur. Contohnya berlaku hakisan tanah, pengaliran air tidak teratur sewaktu hujan, menjadi tempat pembiakan perkara tidak diundang. Kami perlukan keputusan sama ada jika boleh diteruskan amatlah kami harapkan. Ataupun jika tidak boleh bersihkanlah kembalii tapak tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tertarik dengan titah Tuanku Sultan Johor tempoh hari berkaitan jalan-jalan raya di negeri Johor. Salah satu jalan yang disebutkan itu menghubungkan kawasan saya daripada Johor Bahru melalui Kota Tinggi dan ke daerah Mersing. Ada beberapa jalan yang perlu diberikan perhatian, contohnya laluan FT03 Seksyen 48 hingga 49 yang sentiasa berlaku kemalangan dan juga kemalangan maut. Saya berharap jalan ini perlu diluruskan dengan menambahbaik kedudukan jalan tersebut. Kedua, di kawasan Sungai Semalok – Jalan Mawai FT009 Seksyen 4.33 dan Jalan Perani J179 Seksyen 7.0 mengalami masalah yang perlu ditambah baik. Saya cadangkan agar jambatan yang sedia ada dan sistem perparitannya perlu dinaik taraf kerana tidak dapat menampung kapasiti air sewaktu hujan lebat dan air pasang besar.
Bagi menyokong hala tuju ke arah Johor Maju 2030, kegiatan ekonomi juga harus menjadi agenda utama. Hari ini para nelayan di kawasan Kuala Sedili mengalami masalah muara sungai yang semakin tohor. Oleh yang demikian muara Sungai Sedili, Kuala Sedili ini perlu diperdalamkan bagi memudahkan pergerakan bot-bot besar setiap hari untuk keluar masuk membawa hasil penangkapan mereka. Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia terletak di situ dan pada tahun 1990 jeti ini mendapat sambutan yang baik kerana mendapatkan hasil yang baik bagi nelayan-nelayan bot besar.
Tapi disebabkan keadaan muara yang semakin tohor, bot-bot besar tidak boleh ke situ dan akhirnya pergi keluar daripada jeti LKIM yang jauh daripada Kuala Sedili ini. Di situ juga ditempatkan satu agensi kerajaan pusat iaitu Maritim dan mereka ini memerlukan kedudukan untuk meletakkan bot-bot mereka yang besar dan juga hasil pemantauan mereka apabila bot yang dapat ditangkap, umpamanya mereka yang menceroboh perairan kita diletakkan di situ untuk seterusnya mengemukakan kepada Mahkamah untuk tindakan. Jadi mereka terpaksa letakkan bot tersebut dahulu, sebab itu adalah barang kes.Saya berharap perkara ini perlu juga perhatian daripada pihak yang berwajib.
Berkaitan dengan perkhidmatan bas awam, sebelum ini terdapat perkhidmatan Bas Muafakat tetapi sejak pertukaran kerajaan pada tahun 2018 perkhidmatan ini lenyap begitu sahaja. Kita pun tidak pasti ke mana perginya bas-bas ini. Saya mencadangkan agar perkhidmatan bas awam ini dapat diteruskan bagi memastikan agenda Johor Maju 2030 dapat diterjemahkan di segenap pelosok tanah negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejajar dengan penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor ini, generasi kedua anak kampung tradisi dalam kawasan Sedili juga tidak boleh tertinggal bagi memiliki rumah. Dengan semangat itu langkah pertama urusan pemilikan tanah kepada mereka haruslah dipercepatkan dan dipermudahkan. Tidak kira anak FELDA atau anak kampung tradisi di bandar atau luar bandar cabaran generasi baru kita adalah tinggi. Kalau kita tidak bantu, siapa lagi. Dan apabila kita sentuh pasal perumahan sudah pasti wujud komuniti baru. Oleh yang demikian bagi melengkapkan ekosistem itu amatlah sesuai jika penubuhan institut pengajian tinggi dalam kawasan Sedili,
hal ini juga boleh direalisasikan dengan mudah kerana kawasan tanah kerajaan masih ada di Sedili untuk tujuan ini.
Terlanjur saya sentuh isu pendidikan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, suka saya menyarankan agar kemudahan pembelajaran seperti kerusi dan meja di semua sekolah agama juga diambil perhatian. Sekolah agama ini antaranya antara lain adalah identiti negeri Johor. Keselesaan murid-murid juga memberi faktor minat mereka untuk hadir ke sekolah. Tidak lupa juga perhatian kepada TABIKA KEMAS. Contohnya, saya pernah melihat, pernah datang sendiri ke TABIKA KEMAS di Kampung Sayang, atapnya pun bocor, kemudahan yang daif, bangunan pun menumpang. Dalam kawasan DUN Sedili kita ada 15 buah TABIKA KEMAS, ada 27 kelas dan 20 orang pendidik masyarakat. Saya berharap perhatian yang serius diberikan pihak berwajib bagi menyokong pendidikan awal anak-anak kita. KEMAS ini bukan baru sudah banyak berjasa, jika perlu penjenamaan semula, saya berharap ianya dimulakan di dalam kawasan Sedili.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mengambil semangat dan seruan perubahan yang berani, saya ingin mengambil contoh betapa peraturan dan cara kerja yang lapuk harus ditambahbaik. Pada tanggal 23.7.2021, sebanyak hampir 300 buah rumah telah terkesan dilanda ribut dalam kawasan N.36 Sedili. Malangnya, selepas peruntukan diluluskan selepas kehadiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika itu, penduduk terpaksa menunggu lebih dari sebulan bagi kerja-kerja pembaikan rumah mereka dilakukan. Kalau dah atap rumah terbang, dinding tumbang, apalagi yang kita harapkan untuk menunggu lebih sebulan. Oleh yang demikian, saya mencadangkan ianya dapat ditambah baik pada masa yang akan datang. Dalam hal ini juga, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang hadir memberi bantuan yang telah diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kota Tinggi dan setinggi-tinggi penghargaan atas kurniaan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menyedari Sedili merupakan tumpuan pelancongan dalam dan luar negara, saya menjemput YB EXCO Pelancongan dan semua agensi yang terlibat untuk hadir ke Sedili bagi melihat sendiri potensi menjadikan Sedili pusat pelancongan yang berdaya saing di antara pusat-pusat pelancongan yang lain. Di Sedili ini Datuk Speaker, pantainya agak panjang, terlalu panjang. Pusat penternakan belangkas terbesar pun ada di sini, nak makan kat situ pun boleh, insya-Allah, saya belanja.
Berkaitan dengan, walau bagaimanapun, isu keselamatan harus dititikberatkan. Dalam hal ini isu gajah liar yang berkeliaran menjadi ancaman kepada penduduk setempat dan kepada pengunjung-pengunjung daripada masalah berkeliaran di dalam ladang, sekarang gajah sudah pun berkeliaran di kawasan perumahan dan jalan-jalan utama. Tidak, saya mengambil berat di tempat saya kerana ada beberapa orang peneroka yang kebunnya habis, tidak ada pokok lagi. Sedangkan ketika ini peneroka mempunyai pendapatan hampir 7 hingga RM10,000.00 seorang tetapi mereka ini tidak ada pendapatan kerana kebun mereka habis disebabkan gajah yang tumbangkan pokok yang dalam 7 hingga 9 tahun umurnya. Jadi, perkara ini perlu juga perlu juga diberikan perhatian kerana mengganggu emosi kepada mereka-mereka yang terlibat kerana mereka tidak ada pendapatan. Saya menegur agar perkara ini dapat dibendung secepat yang mungkin oleh pihak berwajib.
Akhir kalam, saya menjemput semua ke Sedili bagi menyokong dan menambah baik sektor pelancongan di Sedili. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadang. (Dewan bertepuk.)
Terima kasih Yang Berhormat Sedili. Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas peluang yang diberi untuk bahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah, menjunjung kasih atas keberangkatan dan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Pertama bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Johor Jaya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Setiausaha Negeri Johor atas penganugerahan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Panglima Setia Mahkota sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 6 Jun yang lalu. Penganugerahan ini diberikan kepada Tan Sri merupakan satu sejarah dan kebanggaan kepada perkhidmatan awam Johor. Semoga penganugerahan ini dapat menjadi sebagai satu contoh kepada anggota kakitangan kerajaan yang lain supaya terus komited, semangat dan berkhidmat demi Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak tahun 2014, hari hujung minggu di negeri Johor telah ditukar ke hari Jumaat dan Sabtu. Dengan ini, agensi kerajaan dan sekolah telah bekerja atau sekolah, telah bersekolah pada hari Ahad. Namun pihak swasta tetap kekalkan hari rehat pada hari Sabtu dan Ahad. Jadi, bukan sahaja ramai ibu bapa dan anak-anak tidak dapat meluangkan masa yang cukup bersama anak mereka terutamanya apabila mereka nak merancang cuti minggu. Tetapi juga banyak keluhan syarikat-syarikat asing dan swasta bahawa cuti hujung minggu yang berbeza antara kerajaan dan swasta telah mewujudkan pelbagai kesulitan bagi mereka. Mereka turut menyuarakan harapan supaya hari hujung minggu dapat ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad. Johor antara penyumbang utama ekonomi negara. Penetapan cuti hujung minggu sektor kerajaan yang selaras dengan sektor swasta akan dapat meningkatkan lagi produktiviti, kecekapan negeri Johor dan juga sektor pelancongan negeri. Menteri Besar telah berkata bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu. Oleh itu, Johor Jaya menyeru agar pihak kerajaan negeri segerakan kajian pertukaran hari cuti minggu supaya dapat dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mendapat perkenan Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor merupakan negeri yang indah dan kaya dengan khazanah serta produk pelancongan, sama ada kepulauan yang cantik dan indah, taman negara yang penuh dengan khazanah, padang golf, taman tema dan tempat membeli belah yang bertaraf international, budaya dan makanan yang enak mahupun bandar yang dipenuhi dengan sejarah. Tambahan pula lokasi negeri Johor yang cukup strategik iaitu terletak di sebelah Singapore, negeri Johor patutlah menjadi tumpuan pelancongan dalam negara. Namun, sedih katanya Johor katanya masih diberikan imej sebagai tempat laluan sahaja.
Sektor pelancongan merupakan sektor penting dalam memainkan ekonomi tempatan dan dia menghadapi cabaran semasa pandemik. Inilah masa bagi pihak kerajaan negeri merancakkan semula sektor pelancongan. Apabila semua negeri masing-masing sibuk membuat promosi bagi produk pelancongan untuk menarik pelancong ke negeri masing-masing, timbulnya beberapa persoalan di kalangan rakyat. Pertama, Zoo Johor. Zoo Johor merupakan satu tempat pelancongan yang digemari oleh ramai terutamanya ibu bapa yang suka membawa anak ke Zoo Johor dan tiket Zoo Johor merupakan tiket yang paling murah mungkin di seluruh dunia iaitu RM2.00 sahaja. Selepas PKP semua negeri sibuk membuat promosi menarik pelancong ke negeri masing-masing, tetapi Zoo Johor tutup bagi naik taraf sejak Oktober tahun 2020. Sehingga kini tidak tahu lagi bila nak buka lagi. Soalan saya bilakah Zoo Johor akan dibuka semula untuk pelancong?
Kedua, Kepulauan Mersing dipromosikan sebagai Maldives Malaysia, keindahan pulau menarik pelancong untuk island hoping dengan izinnya, memancing dan juga menyelam, diving di sana. Tindakan penguatkuasa yang ketat dan menghadkan bilangan pelancong
adalah penting supaya dapat memelihara keindahan marin, menjamin sustainability marine dan pada masa yang sama dapat menarik pelancong dan menjana ekonomi tempatan. Namun, insiden penyelam yang berlaku baru-baru ini amat menyedihkan pelancong di mana tempat selam iaitu diving yang terkenal dalam negara ditutup selepas insiden. Apabila kita mengkaji balik, insiden tersebut berlaku atas kesalahan pemandu bot. Siapakah yang harus bertanggungjawab atas penguatkuasaan pemandu bot dan ini serupanya kalau ada kemalangan berlaku, sepanjang jalan tu ditutup. Inilah berlaku di sana apabila insiden itu tersebut berlaku, aktiviti selam ditutup, dihentikan. Bilakah pulau akan buka balik untuk diver menyelam di sana?
Dan kemudian ketiga, bagi merangsang sektor pelancongan, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta sebagai baucer pelancongan Johor dalam Bajet 2022. Dan baucer tersebut dilancar dan ditebus sehingga 30 November tahun lepas. Bagaimanakah prestasi penebusan baucer tersebut dan adakah baucer tersebut akan diteruskan pada tahun ini? Johor Jaya menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sistem penswastaan mesti dikaji semula dan jabatan yang bertanggungjawab atas produk pelancongan mesti memandang serius apakah rancangan pihak kerajaan bagi mewujudkan produk baru dan atau mengambil balik produk yang telah diswastakan yang tidak diurus dengan sempurna.
Yang Berhormat Datuk Speaker, 2 hari yang lepas masalah trafik di CIQ, KSAB sekali lagi timbul dan ini tetap merosakkan imej pelancongan di negeri Johor. Menurut berita, pelancong mengadu bahawa bas pelancongan menunggu selama 4 jam untuk mendapatkan dengan izinnya clearance di CIQ dan laluan diberi dulu kepada bas kilang dan industri. Ini memang menyedihkan pelancong. Semasa kerajaan Pakatan Harapan kami telah mewujudkan Task Force untuk memantau dan merancang penaiktarafan bangunan, penambahan laluan supaya mempercepatkan proses laluan bagi pelancong. Johor Jaya ingin tanya apakah status bagi penaiktarafan bangunan CIQ, KSAB ini, untuk menyelesaikan masalah yang timbul? Lagi ni, sempadan pun sudah dibuka semula, Johor memang menerima ramai pelancong Singapura yang datang tetapi mereka hanya datang untuk menjalankan aktiviti pelancongan harian iaitu day trip sahaja dengan saya ambil contoh, dengan membeli grocery, mengisi minyak kereta, menjamu selera dan semua dijalankan di Johor Bahru sahaja. Pelancong yang sedia ada ni patutlah kita target dan memanjangkan lawatan mereka dan melawat ke daerah yang lain. Itulah saya memupuk pelancongan daerah iaitu pelancongan tempatan dan Wakil Rakyat tempatan merupakan Spoke Person dengan izinnya atau Duta Pelancongan yang paling baik bagi kawasan masing-masing.
Dengan ini Johor Jaya mencadangkan peruntukan khas atau program promosi yang melibatkan Wakil Rakyat masing-masing dapat dijalankan untuk mempromosikan kawasan masing-masing sebab Wakil Rakyat paling memahami kawasan masing-masing. Dan pelancongan tempatan tetap akan membantu dalam membangunkan ekonomi tempatan. Pihak Tourism Johor perlu meningkatkan lagi promosi dan usaha yang lebih agresif dalam promosi. Promosi perlulah dibuat dengan berbaloi di platform yang mendapat pulangan, promosi di tempat yang sesuai, buatlah kajian supaya promosi bukan syok sendiri sahaja, promosi dan informasi yang betul-betul boleh sampai ke pelancong domestik atau luar negara, dengan ini barulah pelancongan negeri Johor dapat bersaing dengan pelancongan negeri lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak kebelakangan ini kita sering baca berita dan dapat aduan berkenaan dengan scam atas talian. Contohnya, saya terima kes di mana senario 1, mangsa menerima panggilan katanya sama ada mereka disyaki terlibat dalam money laundering dan mangsa diminta untuk membuat transaksi wang ke satu akaun yang diberi. Atau senario 2, mangsa menerima panggilan katanya terdapat parcel di pos ofis atau Imigresen dan sama juga mangsa perlulah buat bayaran supaya dapat balik parcel tersebut. Senario ketiga, mangsa menerima panggilan katanya mangsa mengelak bayar cukai dan
akaun akan dibeku. Maka mereka perlu membuat bayaran dengan serta merta. Malangnya mangsa sedar ditipu selepas membuat transaksi dan terus membuat laporan polis. Kes seperti ini dikategorikan sebagai Macau Scam atau jenis scam atas talian dan siasatan pihak PDRM, bahawa akaun tersebut merupakan akaun orang tengah. Ini bermaksud orang tengah ini meminjamkan akaun mereka kepada mana-mana pihak termasuk sindiket. Saya kagum dengan mengapa pihak PDRM dapat kesan orang tengah atau pemegang akaun tetapi tidak dapat menangkap master mind, dengan izinnya, di belakang dan kes ini terus berulang dan berulang. Kalau kita bandingkan hukuman yang sedia ada, saya rasa hukuman tidak memadai. Setahu saya buat masa kini, undang-undang yang diguna pakai adalah di bawah Seksyen 414 hingga 420, Kanun Keseksaan iaitu bahagian yang menyentuh kes penipuan. Sebagai contoh, hukuman di bawah Seksyen 411 atau 414, tidak ada hukuman mandatori penjara. Malah, orang yang bersalah tersebut boleh terlepas dengan memberi hukuman denda sahaja. Contohnya, orang pemegang akaun tersebut yang terlibat hanya denda RM1,000.00 sahaja di Mahkamah Majestret. Hukuman seperti ini siapa takut? Sebab mereka akan terus meminjam akaun mereka kepada sindiket. Saya baca dalam berita, Bahagian Jenayah Komersial di Negeri Sembilan telah mengumumkan bahawa pihak sindiket telah membuat promosi dalam sosial media untuk mengupa,h mencari sesiapa yang berminat untuk menyewa akaun bank mereka. Antaranya yang paling ramai terlibat adalah golongan yang berumur 20 hingga 40 tahun kerana kerja-kerja sewaan bank akaun sangat mudah dan membolehkan mereka mendapat bayaran sewa yang baik. Mereka tidak perlu buat apa-apa kerja, cuma sewakan akaun mereka sahaja dan hukuman yang begitu rendah membolehkan mereka dapat pendapatan yang memuaskan.
Negeri Sembilan pun mengatakan bahawa dari bulan Januari hingga Mei, terdapat 565 orang yang ditangkap kerana terlibat dalam jenayah komersial. Antaranya, 343 orang disyaki melakukan sewa bank akaun mereka. Johor Jaya ingin bertanya, bagaimana pula dengan negeri Johor? Berapakah peminjam akaun bank yang telah didakwa di Mahkamah? Dengan ini, Johor Jaya mengesyorkan bahawa undang-undang mesti dipinda supaya ada hukuman mandatori penjara minimum 1 tahun. Bank Negara perlu mengambil tindakan dengan segera, bekerjasama dengan bank. Kalau kita sering dengar, mangsa tidak buat transaksi pun duit dalam akaun mereka pun boleh transfer keluar. Adakah sekuriti bank perlu dikaji semula?
Dan ketiga, ramai mangsa juga mengalami experience di mana selepas mereka login dengan Wifi, sistem digodam kena hack, data peribadi butiran bank dicuri. Apakah tindakan kerajaan negeri dalam memastikan tahap keselamatan Johor Wifi untuk pengguna-pengguna yang login itu terjamin?
Keempat, menurut PDRM, amaun scam yang terlibat di negeri Johor pada tahun ini dari Januari ke Jun adalah RM25 million. Ini menunjukkan 70% peningkatan berbanding dengan tahun lepas. RM25 million ini turut menunjukkan wang tersebut lesap di pasaran yang sepatutnya menjana ekonomi negeri Johor. Kerajaan negeri Johor perlu mengambil tindakan, kempen kesedaran perlu dijalan secara besar-besaran supaya kes scam boleh dipandang serius dan rakyat Johor dapat lebih peka apabila terima sebarang mesej. Mangsa-mangsa yang terlibat tidak kira kaum, bangsa, agama, lelaki atau perempuan, orang tua atau orang muda. Jadi, marilah kita usaha demi Johor, saya turut berharap Ahli Parlimen memandang serius dan membawa isu ini dalam Parlimen.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Jaya ingin membawa 10 isu kawasan yang timbul dalam kawasan DUN Johor Jaya.
Pertama, Isu Lebuh raya Pasir Gudang. Sejak saya menjadi Wakil Rakyat di Johor Jaya, isu naik tarap Lebuh raya Pasir Gudang menjadi salah satu tumpuan utama saya. Lebuh raya Pasir Gudang yang merupakan jaringan utama dalam Johor Bahru masih belum habis kerja-kerja naik taraf. Masalah lampu jalan, jalan berlubang-lubang terutamanya selepas hujan,
memang sangat menyedihkan pengguna jalan. Johor Jaya berharap JKR dapat memandang serius terhadap Lebuh raya Pasir Gudang dan Johor Jaya ingin bertanya, bilakah fasa kemudian dapat bermula dan bilakah keseluruhan projek ini dapat disiapkan?
Kedua, masalah lalu lintas dalam DUN Johor Jaya. Terdapat banyak masalah lalu lintas termasuklah masalah ruangan parking. Jadi, minta kaji semula di Jalan Dedap, penaiktarafan jalan di persimpangan Masai Baru ke Jalan Rosmerah Utama, kaji semula laluan satu hala di Jalan Molek 2, masalah kesesakan trafik di Seri Alam dan lain-lain. Kesemua masalah ini saya telah pun merujuk ke PBT masing-masing. Harap tindakan diambil dengan segera.
Ketiga, taman kanak-kanak dan rekreasi. Terdapat satu projek penyelenggaraan, pembersihan dan penjagaan landskap di taman kanak-kanak rekreasi di Jalan Teratai 49, Johor Jaya. Papan notis telah mencatatkan bahawa tarikh naik taraf adalah bulan April 2021 hingga April 2022. Namun, sampai sekarang tiada apa-apa kerja telah dijalankan.
Keempat, kerja-kerja naik taraf Jalan Masai Lama sudah lama ketinggalan. Sudah melebihi 5 tahun pun belum siap lagi. Johor Jaya aga khuatir dengan kontraktor yang dilantik dan haraplah tindakan lanjut bagi projek ini.
Kelima, Johor Jaya minta kerja-kerja penggalian dasar Sungai Plentong perlu dijalankan supaya mengelakkan banjir kilat berlaku di kawasan Kampung Baru Plentong, Kampung Plentong Baru, Taman Sri Plentong dan Masai.
Keenam, dulu mungkin musim hujan kita risau banjir akan berlaku tetapi sekarang tak perlulah musim hujan, setiap kali kalau hujan turun dengan lebat aje, Pelantik, Kampung Bendahara, Kampung Saujana, Taman Sri Pandan mesti banjir kilat. Rumah-rumah yang dikena tetap sama sahaja. Setiap kali saya tanya MBJB tolak JPS, JPS tolak JKR, JKR tolak pula MBJB, itulah apa yang berlaku selama ini. Johor Jaya mohon supaya jabatan yang bertanggungjawab duduklah sama-sama, carilah cara penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan masalah ini.
Ketujuh, kawasan Johor Jaya terdapat kawasan JJ Square dan Pasar Awam Johor Jaya yang merupakan satu kawasan pusat ekonomi yang penting. Namun, bangunan tersebut sudah lama terbiar dan disyaki penagih dadah pun pecah masuk bangunan. Pasar Awam pun sudah lama tidak dinaik taraf di mana bumbungnya bocor, tandas kotor dan sebagainya. Apakah rancangan pihak kerajaan di atas bangunan tersebut? Saya bercadang supaya penaiktarafan dijalankan. Bukakan tempat tersebut kepada penduduk yang ingin menjalankan perniagaan kecil seperti ibu tunggal atau orang muda untuk bermula perniagaan dengan sewa yang murah. Selain itu, jadikanlah sebahagian bangunan tersebut sebagai pusat komuniti dan memberi ruang kepada pihak yang ingin sewa untuk menjalankan mesyuarat dan aktiviti.
Kelapan, untuk makluman Dewan yang mulia ini, projek pembangunan Taman Sri Molek Perdana sudah tangguh melebihi 10 tahun. Atas usaha semua pihak terutamanya SPNB, salah satu blok berjaya mendapatkan kunci pada tahun lepas. Namun, blok yang lain masih belum. Saya berharap projek ini dapat lengkap dan serah kunci kepada blok pada tahun ini.
Kesembilan, apakah status Hospital Pasir Gudang buat masa kini? Dan akhir sekali adalah pembinaan SJKT Bandar Seri Alam. Sudah lama dibina dan sudah siap dibina sejak tahun 2019 tetapi sehingga kini pun masih belum buka sekolah lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai rakyat Johor, saya berasa gembira apabila Menteri Besar sendiri turun padang untuk memahami isu kesesakan di Kastam, di Imigresen. Meninjau jalan dan traffic light pun Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat diselesaikan
dengan cepat. Memandangkan jadual yang hectic pun Menteri Besar sanggup turun padang dengan rendah diri. Ini memanglah satu contoh yang baik kepada semua, sama ada EXCO, pengarah atau ketua jabatan (Dewan bertepuk). Kesemua isu tempatan yang saya bawa tadi, 10 isu itu, tidak eloklah saya tag Menteri Besar dalam facebook. So, dengan ini saya menjemput Menteri Besar turun ke kawasan saya sama-sama kita meninjau tapak, yang paling penting jangan lupa ajak saya. Dulu apabila MB, Menteri Besar menjadi EXCO Pelancongan pun, Menteri Besar mengajak saya untuk berbincang isu sektor pelancongan, itulah model dan contoh yang baik. Namun, sedih saya katakan EXCO Kesihatan yang turun padang meninjau Hospital Pasir Gudang tidak jemput saya, so, EXCO haruslah belajar dengan Menteri Besar. Sebagai wakil rakyat..
Yang Berhormat, masa dah tamat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Yang lebih berpengalaman perlu kita hormat, yang lebih muda perlu kita jaga, demi Johor kita berkhidmat, untuk rakyat kita bekerja. (Dewan bertepuk.) Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Demikian juga limpahan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW semoga kita mendapat syafaat dan rahmat daripada-Nya. Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya, izinkan patik mewakili DUN Pasir Raja merafak sembah menjunjung kasih atas titah DiRaja Oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar khas pada Pembukaan Rasmi Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke 15 pada 16 haribulan Jun yang lalu.
Pasir Raja juga ingin merafak sembah, tahniah kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah dilantik selaku Pemangku Raja Johor. Tahniah juga kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri dan Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari Jamali sebagai Timbalan Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama sekali izinkan Pasir Raja merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk meyatakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus serta mengambil bahagian di dalam perbahasan pada kali ini. Diharapkan agar apa yang akan dibahaskan ini mampu memberi manfaat dan melakukan yang terbaik buat Johor dan juga masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan SPM 2021 terutama kepada empat orang anak serta Southern Volunteers DUN Pasir Raja yang mendapat keputusan cemerlang. (Dewan bertepuk.) Pasir Raja juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas penganugerahan Darjah Yang Mulia Setia Mahkkota Malaysia, Panglima Setia Mahkota Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 6 Jun yang lalu. Penganugerahan yang diberikan kepada Tan Sri menjadi suntikan semangat kepada anak muda DUN Pasir Raja agar sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan komited untuk berjaya. Orang FELDA Sungai Sayong kan? Kami DUN Pasir Raja sangat bangga.
Di kesempatan ini juga Pasir Raja menzahirkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada pasukan jentera seluruh penyokong dan pengundi di atas kemenangan Barisan Nasional di PRN Johor khususnya DUN Pasir Raja yang beroleh kemenangan dengan majoriti 2/3. Terima kasih kepada rakyat Johor yang telah memilih kestabilan demi kemakmuran. Tahniah kepada barisan ADUN Pembangkang yang telah memenangi kerusi DUN masing-masing. Marilah kita sama-sama bekerja untuk mencapai impian menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030. Tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan EXCO yang telah dilantik untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri Johor. Pasir Raja berharap, gerak kerja turun padang untuk mendengar sendiri keluh kesah rakyat dan melihat sendiri isu-isu pembangunan setempat dapat diteruskan dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama. Pasir Raja berbesar hati untuk menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan EXCO datang ke DUN Pasir Raja untuk melihat sendiri beberapa isu pembangunan yang masih belum dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 14 Jun lalu telah menyatakan dengan 6 teras akan diketengahkan sebagai tunjang utama dalam memastikan visi menjadikan Johor sebuah negeri maju. Pasir Raja tertarik kepada teras ke empat iaitu teras kemudahan dan keperluan asas yang dibahagikan pula kepada 5 komponen utama. Komponen pertama ialah penyelenggaraan dan naik taraf jalan. Oleh yang demikian Pasir Raja ingin menyuarakan beberapa masalah di kawasan Pasir Raja yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan.
Pertama, Pasir Raja mermohon pihak JKR mengambil serius untuk membaikki jalan Simpang sepanjang lebih kurang 4 kilometer bermula dari Simpang Kulai yakni FT3 Jalan Johor – Kota Tinggi hingga ke Taman Sri Saujana bagi mengelakkan kemalangan terutama pada waktu hujan lebat. Kerja-kerja baik pulih haruslah dibuat dengan lebih teliti dan sempurna. Janganlah setakat menampal mana-mana bahagian yang berlubang hingga menyebabkan keadaan jalan tersebut menjadi tidak rata dan beralun.
Kedua, jalan raya sepanjang 7 kilometer bermula dari simpang masuk ke Orchard Golf Resort – Jalan Kulai - Kota Tinggi ke FELDA Sungai Sayong wajar untuk dilebarkan dan diturap semula. Lampu jalan juga amat diperlukan di kawasan itu bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Untuk makluman jalan tersebut merupakan laluan ke empat FELDA di dalam DUN Pasir Raja iaitu FELDA Bukit Besar, FELDA Pasir Raja, FELDA Bukit Ramun dan FELDA Sungai Sayong. Isu ini juga merupakan antara isu utama yang disuarakan oleh pengundi ketika PRN Johor yang lalu. Pasir Raja bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Kahang agar kerajaan negeri memberi peruntukan 100 unit tiang lampu kepada setiap DUN bagi tujuan pencahayaan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, komponen kedua di dalam teras keempat, teras kemudahan dan keperluan asas pula adalah tentang perumahan. Di kesempatan ini Pasir Raja ingin menyambut baik titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor agar kerajaan negeri membina lebih banyak rumah mampu milik sesuai dengan kemampuann rakyat Johor. Oleh yang demikian Pasir Raja berhasrat untuk meneruskan rancangan membina Rumah Mampu Milik Johor, di PTD 7001 seluas 42 ekar dan PTD 7002 seluas 81.882 ekar di Kampung Sungai Telor bagi generasi kedua kampung tradisi di dalam DUN Pasir Raja.
Untuk makluman, perbincangan awal pembinaan rumah mampu milik ini telah dijalankan pada tahun 2021 dan telah dibuat bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor pada ketika itu. Hasrat tersebut juga telah dimaklumkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Pasir Raja berharap rancangan ini mendapat perhatian bersama EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor untuk dibincangkan dan tindakan selanjutnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini Pasir Raja ingin merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Yang Berhormat Bukit Permai, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah mengambil tindakan segera bertemu dengan pembeli dan pengurus PRIMA bagi menyelesaikan projek perumahan yang lewat siap, projek perumahan PRIMA Residency Kota Tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, komponen keempat di dalam teras keempat ialah jaringan internet dan komunikasi. Sebelum Johor bergelar negeri maju pada 2030, Pasir Raja memohon masalah capaian Internet di kawasan luar bandar hendaklah diselesaikan. Di Pasir Raja kawasan yang sangat kritikal capaian internet dan telekomunikasi ialah di FELDA Bukit Ramun, FELDA Bukit Besar, FELDA Pasir Raja, FELDA Sungai Sayong, Kampung Sungai Telor, Kampung Sri Jaya, Kampung Baru Sungai Telor, Kampung Sri Aman, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Sungai Redan.
Aduan telah dibuat ke Mesyuarat Tindakan Daerah dan sidang Dewan Negeri Johor pada 2021, malah termasuk kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia tetapi malangnya masih belum ada sebarang maklum balas. Pasir Raja berharap isu ini dapat diambil perhatian kerana ianya adalah salah satu isu yang dibawa oleh pengundi ketika PRN Johor baru-baru ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semua tahu dunia sudah mula mengalami krisis bekalan makan akibat ketidakstabilan geo politik serantau dan kadar inflasi yang meningkat. Justeru itu Pasir Raja ingin menyahut seruan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk mencadangkan untuk mengusahakan agro makanan di P18606 Kampung Sungai Telor seluas 231.1 ekar yang dahulunya merupakan kawasan tadahan hujan untuk dijadikan ladang tanaman kontan.
Ahli Parlimen Tenggara Yang Berhormat Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga Menteri MOSTI telah bersetuju untuk membekalkan teknologi terkini bagi menjayakan usaha ini. Besarlah harapan Pasir Raja semoga cadangan ini mendapat perhatian daripada EXCO Pertanian Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, hasil kajian para bijak pandai mendapati pendidikan merupakan perkara yang penting yang mampu mengubah taraf hidup kita. Dengan adanya ilmu pengetahuan kita mampu meningkatkan keupayaan ekonomi, politik, sosial dan agama. Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan jumlah wang yang amat besar dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan. Oleh yang demikian Pasir Raja ingin memohon kepada kerajaan negeri agar membaik pulih Sekolah Agama Taman Sri Saujana yang telah beroperasi selama lebih kurang 11 tahun dan mempunyai 1,234 orang pelajar.
Di sini Pasir Raja telah mengenalpasti beberapa perkara masalah yang perlu dibaik pulih iaitu, pertamanya terdapat 2 buah kelas yang dipenuhi tahi kelawar hingga menyebabkan jangkitan kulit kepada para pelajar. Selain itu 2 buah kelas ini juga sudah berlubang dan menjadi sarang burung merpati. Najis burung inilah yang menyebabkan keadaan menjadi kotor dan menimbulkan ketidakselesaan kepada para pelajar. Kini 2 buah kelas tersebut terpaksa ditutup. Kedua, terdapat 6 buah bilik darjah yang lantainya sudah pecah dan berlubang. Habuk simen berterbangan apabila sesi membersihkan bilik darjah dan menjadi punca gejala batuk di kalangan pelajar.
Ketiga, terdapat kerosakan jenang pintu tandas dan lubang pengudaraan tandas yang telah reput hingga mengundang bahaya kepada para pelajar. Seterusnya Sekolah Agama Taman Sri Saujana ini juga dibina tanpa dewan terbuka untuk para pelajar. Surau yang disediakan pula tidak mampu untuk menampung jumlah pelajar sehingga menyebabkan mereka menunaikan solat di kawasan parking yang berbumbung zink. Rumusan hasil lawatan Pasir
Raja ke sekolah tersebut mendapati hampir keseluruhan bangunan sekolah sudah tidak selamat dan tidak sihat untuk digunakan. Laporan berkenaan perkara ini telah dibuat kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah Kota Tinggi tetapi masih tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga sekarang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain Sekolah Agama Taman Sri Saujana, Sekolah Rendah Taman Sri Saujana juga mengalami masalah pendawaian yang serius yang memerlukan penyelenggaraan segera. Pasir Raja mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Lama EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi yang telah mengadakan lawatan ke sekolah tersebut dan telah bersetuju untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut. Di kesempatan ini juga Pasir Raja ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tenggaroh, EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya yang telah turun padang dan memberi penerangan bagi menangani masalah gajah di daerah Kota Tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja juga terpanggil untuk menarik perhatian Dewan berhubung cadangan penambahbaikan hari cuti kerja dan perkhidmatan di negeri Johor. Pasir Raja yakin pendapat ini dicetus terutama ketika Majlis Amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Berdasarkan keperluan-keperluan dan kemustahakan tersebut rakyat juga mengambil bahagian berdiskusi perihal rasionalisasi dan kewajaran. Kita mengambil maklum bahawa asas utama mungkin perubahan yang hendak dibuat adalah kewajaran, adalah kebaikan, adalah positif dan adalah untuk rakyat.
Dari hujung dengar kita adalah perihal menyeragam masa operasi sektor ekonomi dan juga menangani masalah kehadiran pelajar di sekolah yang dikhabarkan agak terjejas terutama pada setiap Ahad kerana keperluan kekeluargaan. Oleh kerana cuti swasta dan kerajaan termasuk persekolahan adalah tidak seragam berlaku kepincangan pada kesesuaian waktu bersama keluarga bagi tujuan cuti liburan. Hal ehwal kekeluargaan dan aspek ini amat penting dari segi kesejahteraan rakyat.
Kita memang tidak mahu rakyat terbeban dengan psikologikal kekeluargaan kerana ketidak seragaman waktu bekerja ini. Sebagai kerajaan sewajarnya kita membantu rakyat juga menangani stress, tekanan dan melihat elemen-elemen begini. Pasir Raja yakin tujuan idea ini adalah bagi memastikan ekonomi dan institusi kekeluargaan ke arah sejahtera bersama. Justeru, Pasir Raja berpandangan adalah paling baik sekiranya cuti kerja swasta diseragamkan dengan cuti perkhidmatan iaitu Jumaat dan Sabtu. (Dewan bertepuk.) Jika perkhidmatan mengikut swasta dibimbangi mencetuskan keresahan terutama kalangan umat Islam.
Namun suka juga Pasir Raja mencadang agar pertimbangan baharu dibuat berdasarkan amalan beberapa negara luar seperti Belgium, Iceland, Scotland, Sepanyol, Jepun dan UAE yang mengamalkan kerja 4 hari dalam seminggu. Kerja Isnin hingga Khamis dan cuti pada Jumaat hingga Ahad. Jika produktiviti adalah modul pendebatan Pasir Raja mencadangkan option begini. Kita bekerja penuh pada Isnin hingga Khamis dengan satu penambahan jam waktu bekerja. Ia boleh difahami begini, sekiranya sebelum ini kita semua bekerja 8 hingga 5 maka pelaksanaan Pasir Raja ini adalah bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang, bagi Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.
Kemudian ditambah waktu bertugas setengah hari pada Jumaat iaitu bermula 8 pagi hingga 12 tengahari. Pekerja Muslim masih lagi tetap dapat keselesaan menunaikan fardu Jumaat dan dalam masa yang sama kita dapat mengekal momentum produktiviti berdasarkan jam bekerja iaitu sekitar 9 jam waktu bekerja dalam satu jam dan dengan satu jam kerehatan. Maka, Isnin hingga Khamis kita ada 36 jam waktu produktiviti perkhidmatan. Ia ditambah 4 jam perkhidmatan pada Jumaat menjadikan 40 jam tempoh produktiviti. Jika dibandingkan pada amalan kini 9 jam berkhidmat dengan 1 jam kerehatan dan ditambah 2 jam kerehatan
pada Jumaat, ia memungkin kesaksamaan tempoh produktiviti pada jangkauan 40 jam pada Ahad hingga Khamis.
Pasir Raja mohon mencadang cadangan ini, dalam Dewan ini dan dengan kesedaran kepada kepentingan untuk melonjak ekonomi, mempertingkat kesejahteraan, ekonomi institusi kekeluargaan, momentum baharu produktiviti demi maju Johor dan sejahtera rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang pekak pelepas bedil, yang buta pengembus lesung, yang bisu penggerak ayam, yang lumpuh penghuni rumah, marilah kita sama-sama merealisasikan harapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk sama-sama kita jadikan diri kita umpama jika dibuang ke hutan menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau, di baling ke langit menjadi bintang. Akhir kata diharapkan kerajaan terbuka hati menerima segala cadangan yang diberikan agar ianya mampu menambahbaikan supaya rakyat kekal percaya kepada kerajaan negeri yang memerintah. Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, waalaikumusalam warahmatullahi wabarakatuh. Pasir Raja mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Seterusnya, saya jemput Yang Berhormat Pemanis.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera dan salam Pemanisku sayang dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, burung paling kaya burung Belibis ke?
Burung Belibis?
Burung Belibis.
Saya tambah 5 minit. (Dewan ketawa).
Alhamdulillah. Terima kasih Datuk Speaker.
Tuan-tuan, saya perjelaskan sikit kenapa burung Belibis. Sebab di Indonesia, bas itu dipanggil bas, bis. Contohnya, saya pergi Jakarta naik bis. Jadi, burung tu namanya Belibis, dia sahaja yang boleh beli bas. So, dia kayalah burung tu sebab dia boleh beli bas. Tahniah Pemanis.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan terima kasih kerana dapat kesempatan untuk turut serta menzahirkan sembah setia di atas pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri Johor Darul Ta’zim Dan Jajahan Takluknya serta peluang untuk turut serta dalam perbahasan usul menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Segala puji kita panjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmatnya yang telah diberikan kepada kita semua, nikmat sihat, nikmat taufik hidayah dan innayah dan nikmat yang paling besar adalah nikmat iman yang besar. Selawat serta salam tak lupa kita sanjungkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selepas meneliti dan menghayati titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, ada pelbagai perkara disentuh, ada isu yang masih belum dapat diselesaikan, ada perkara yang perlu diambil untuk kita jadikan ingatan, ada cadangan yang perlu diangkat dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Saya ingin menyorot beberapa isu terutama berkaitan dengan belia yang disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dan titah Baginda, Baginda ada menyeru agar diperbanyakkan program untuk golongan belia, antara perkara yang perlu diambil berat dan diperkasakan ialah pertubuhan belia. Ada ramai di kalangan kita hari ni memulakan aktiviti
bersama dengan masyarakat melalui pertubuhan belia. Dia mempunyai peranan besar dalam membantu kerajaan membangunkan potensi golongan muda. Di Johor ada lebih kurang 2,000 pertubuhan belia berdaftar. Kebanyakkannya bernaung di bawah Majlis-Majlis Belia di peringkat daerah dan di peringkat negeri bernaung di bawah Majlis Belia Negeri Johor. Kerajaan negeri perlu dekat dan peka kepada keperluan pertubuhan belia ini agar ia dapat bergerak bersama ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan orang muda. Keahlian pertubuhan belia yang kini kira-kira 1.2 juta atau mewakili hanya 8% daripada keseluruhan populasi belia negara sewajarnya ditambah menerusi kepelbagaian aktiviti. Penglibatan belia dapat menggalakkan pembudayaan lebih sihat. Antaranya, melalui penyertaan badan bukan kerajaan belia seperti dalam misi bantuan banjir di seluruh negara termasuk di negeri Johor.
Saya amat berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail, Pemangku Raja di atas idea penubuhan Southern Volunteers di Johor ini. Namun, Southern Volunteers dan pertubuhan belia mempunyai peranan yang agak berbeza di antara satu sama lain. Southern Volunteers menggalakkan penyertaan para belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dan memberi khidmat kepada rakyat dan negeri Johor serta berperanan menjadi pemangkin pembentukan budaya kesukarelawan di dalam kalangan belia di negeri Johor. Manakala pertubuhan belia pula berfungsi melatih para belia menguruskan organisasi, melaksanakan pelbagai aktiviti, mendaftar dan menyelaras urusan berkaitan pertubuhan serta menguruskan kewangan pertubuhan belia mengikut keperluan masing-masing. Maka apabila berjaya, mereka-mereka yang lahir daripada pertubuhan belia ini akan menjadi pelapis muda dalam mengurus dan menggerakkan organisasi terutamanya NGO yang ada pada hari ini. Justeru, saya ingin mencadangkan agar pertubuhan belia di negeri Johor ini diberikan dana pengupayaan sekurang-kurangnya sebanyak RM3,000.00 setahun bagi membantu mereka menggerakkan aktiviti di tempat masing-masing. (Dewan bertepuk.) Tak adalah dia minta dengan YB kawasan sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, ramai penduduk di negara kita memerlukan penambahan pendapatan. Kita melihat mereka mencuba pelbagai perniagaan bagi menghasilkan pendapatan halal seperti perniagaan secara dalam talian, menghasilkan barangan kreatif untuk dijual, berniaga kuih muih dan lain-lain lagi. Untuk memulakan perniagaan sendiri, mereka memerlukan modal dan perlu menghadapi risiko yang tinggi. Tidak semua orang mampu untuk mengadakan wang menerusi perniagaan walaupun perniagaan merupakan sumber pendapatan yang terbaik. Namun begitu, peniaga tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa perniagaan yang mereka jalankan pasti akan berjaya.
Dalam pelaburan saham, kita sebenarnya membeli sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran bursa Malaysia melalui saham yang dibeli. Apabila kita membeli share atau saham, kita bukan sekadar membeli unit atau item hakikatnya adalah kita membeli sebahagian kecil dari sesebuah syarikat. Ini bermaksud kita mempunyai hak pemilikan dalam syarikat tersebut. Secara umumnya, bagi yang mempunyai kompetensi keusahawanan, mereka akan mencari jalan untuk menggandakan wang supaya dapat menjamin kelangsungan hidup dalam tempoh 20 hingga 30 tahun yang akan datang. Pelaburan di pasaran saham mungkin menjadi pilihan yang terbaik berbanding beberapa instrumen pelaburan seperti hartanah, emas, insurans, unit amanah, bon dan lain-lain lagi. Maka dengan ini, Pemanis ingin mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan dana kepada setiap DUN di dalam negeri Johor untuk membantu orang muda terutama para belia dan pelajar yang berminat untuk mendalami ilmu pelaburan saham. Tak hensem, tapi tak kaya, macam itulah.
Oleh yang demikian, sebagai permulaan saya ingin mencadangkan agar satu DUN diperuntukkan seramai 200 orang peserta. Kemudian kita gabung jalinkan kerjasama dengan kepakaran universiti tempatan seperti di UiTM Kampus Johor yang berada di
Segamat yang merupakan satu-satunya universiti dalam negara kita ini yang mempunyai kemudahan pembelajaran berkonsepkan BSKL. Inisiatif ini saya kira memenuhi hasrat Ikhtiar Barisan Nasional dalam memastikan golongan muda diberikan ilmu untuk meraih manfaat pendapatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selepas era pandemik COVID-19 ini, keadaan ekonomi dilihat dalam keadaan keculangcalingan. Akibatnya, hari ini berlaku inflasi makanan yang meningkat dan tidak terkawal. Mengikut kajian sehingga April 2022 sahaja, inflasi makanan telah meningkat sehingga 4.1%, di mana hampir 90% produk makanan termasuk ayam yang viral daripada sebelum Hari Raya Aidilfitri lagi merekodkan kenaikan yang tidak masuk akal. Dan kenaikan ini dijangka akan berterusan sehingga hujung tahun ini. Saya melihat usaha-usaha penguatkuasaan dan penyelesaian melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna walaupun ada dibuat, namun masih lagi gagal mengekang kenaikan harga barang terutamanya keperluan asas. Bayangkan, ikan kembung yang dahulunya RM12.00 meningkat kepada RM19.00 sekilogram, harga cili padi sebelum ini RM18.00 sekilogram kini harganya mencecah sehingga RM25.00 sekilogram. Ini juga berlaku kepada pelbagai barangan asas seperti minyak masak dan lain-lain lagi.
Terima kasih Yang Amat Berhormat MB atas inisiatif yang cukup baik dengan pemberian beras Kasih Bangsa Johor. Namun, jika ada penawaran baucer makanan atau bakul makanan untuk golongan sasaran, saya kira itupun dapat memberi manfaat kepada rakyat. Selain daripada itu, kerajaan negeri boleh memberikan subsidi kos input untuk pengeluaran agro makanan dan mengintensifkan pelaburan PDI dan EDI berkualiti di sepanjang rantaian nilai industri agro makanan bagi meningkatkan produktiviti dan nilai tambah. Itu cerita tentang makanan.
Saya baru mendapat aduan daripada rakyat untuk minta bertanya juga kepada RISDA, apakah usaha dan langkah-langkah yang dibuat oleh agensi ini bagi membantu para penoreh getah yang dalam keadaan harga yang masih rendah dan pendapatan yang tidak menentu? Sebenarnya, ramai yang mengadu Datuk Speaker, terutamanya penoreh-penoreh getah yang minta agar nasib mereka turut terbela.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu pemilikan tanah dan perumahan generasi kedua FELDA. Isu ini memang amat dekat di hati saya. Sebelum itu, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan kerana secara bersama memberikan peruntukan untuk membangunkan kemudahan infrastruktur dalam kawasan perumahan-perumahan FELDA. Dan ada beberapa tanah rancangan sebelum ini juga telah dapat diselesaikan permohonan tapak rumah generasi kedua mereka. Namun, biasalah isu di dalam kawasan FELDA memang tidak pernah selesai dan sentiasa berbangkit terutamanya melibatkan kawasan FELDA yang belum mempunyai tapak rumah untuk generasi kedua. Saya memohon supaya kerajaan negeri melalui Pentadbir Tanah Negeri yang telah menerima permohonan lengkap kawasan tanah yang kosong disegerakan prosesnya agar dapat diberi kepada generasi kedua FELDA.
Manakala di dalam kawasan yang telah dikurniakan lot tanah pula, Pemanis mohon supaya disegerakan kerja-kerja menyiapkan kemudahan infrastruktur asas termasuk jalan, bekalan air dan juga elektrik. Sekiranya tiada halangan, Pemanis memohon agar kerajaan menyegerakan dan mempercepatkan proses permohonan lot tapak rumah berkaitan dengan generasi kedua FELDA. Permohonan-permohonan ini tertangguh lama dan mengambil masa yang terlalu panjang untuk diproses. Mungkin pihak PTD dan PTG boleh menetapkan KPI tempoh masa permohonan tersebut. Dengan ini, hasrat kerajaan untuk mengaktifkan dan memeriahkan semula kawasan FELDA akan dapat dijayakan. Selain daripada masalah pemilikan tapak rumah di kalangan generasi kedua akan dapat diatasi dan jika ada peluang bekerjasama dengan pihak SPNB atau dengan PRIMA mungkin satu kawasan perumahan baru boleh diwujudkan secara teratur dalam kawasan FELDA. Sekali lagi generasi muda
akan merasa bersyukur dengan tindakan kerajaan negeri yang amat memahami masalah dan keperluan serta kebajikan generasi muda di kawasan-kawasan FELDA.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam soalan lisan semalam, saya ada membangkitkan isu berkaitan dengan zon pengeluaran makanan di DUN Pemanis, di mana beberapa syarikat dan pihak persendirian diberikan kurniaan pajakan 30 hingga 60 tahun. Ada yang telah melewati tempoh masa pajakan, ada juga yang mengambil kesempatan menggunakan kurniaan dengan tidak langsung mengusahakan tanah berkenaan untuk tujuan zon pengeluaran makanan tetapi menjadikan kawasan pajakan berkenaan kawasan perladangan sawit yang memang amat jelas melanggar syarat. Saya mohon pihak PTD dan PTG bersama-sama dengan Bahagian Perancangan Ekonomi Johor agar lebih tegas, ambil tindakan dengan rampas semula selain menamatkan serta merta kelayakan mereka memajak tanah ini. Tolak permohonan sambungan untuk mereka memajak tanah ini, kalau boleh disenaraihitamkan lagi baik semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkaitan dan saya ingin mencadangkan agar kawasan tersebut dijadikan kawasan untuk gedung makanan Johor. Dengan melibatkan lebih ramai pengusaha pertanian dengan kerjasama pemantauan daripada kerjaaan negeri menerusi anak-anak syarikat yang dilantik.
Seterusnya, isu berkaitan dengan pembangunan kawasan perindustrian. DUN Pemanis adalah DUN paling utara di Johor. Pemanis yang bersempadanan dengan negeri Pahang merupakan pintu masuk ke negeri Johor, sementelahan cadangan meletakkan daerah Segamat di dalam Zon Koridor Pantai Timur meletakkan Pemanis di antara pintu masuk dalam koridor ini. Oleh yang demikian, suka saya mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan sebahagian kawasan pertanian yang terletak berhampiran dengan Lebuhraya Tun Razak berhampiran dengan simpang masuk ke FELDA Pemanis untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian. Saya yakin jika ia dapat dilaksanakan, lebih ramai pelabur akan berminat untuk melabur di kawasan ini. Selain ia memudahkan urusan logistik kemungkinan untuk melebarkan kemudahan jalan raya, Lebuhraya Tun Razak ini juga mungkin akan dipercepatkan oleh kerajaan persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, nama aje Lebuh raya Tun Razak tapi jalannya sempit, rosak dan memang agak perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan.
Saya ingin menyentuh isu pembinaan sekolah agama. Cadangan pembinaan Sekolah Agama Kampung Tengah telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri pada tahun 2018. Namun, setelah bertukar kerajaan, rupanya janji pelaksanaannya juga telah bertukar ke tempat lain dan sehingga kini cadangan tersebut masih tinggal sebagai cadangan. Untuk makluman, sekolah agama sekarang terpaksa menumpang dan berkongsi kelas dengan sekolah kebangsaan yang kebetulan turut terjejas dengan kejadian banjir awal tahun ini. Maka, wajarlah permohonan untuk membina sekolah agama ini dilaksanakan. Apatah lagi, cadangan untuk menempatkan mereka yang terkesan dengan kejadian banjir kelak dengan menggunakan kemudahan bangunan sekolah agama ini. Terima kasih YB EXCO Agama, ADUN Semerah yang turut berkesempatan hadir, melawat dan meninjau kawasan cadangan tapak sekolah agama ini. Harapan kami daripada warga Pemanis agar perkara ini dapat diterjemahkan pada masa yang terdekat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali, tak tumbuh tak melata, tak bersungguh Pemanis tak bawa. Dalam kesungguhan kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang terpikul di bahu kita semua, saya menyeru dan mengajak seluruh hadirin, waimah Wakil Rakyat dan juga Ketua-ketua Jabatan untuk kita menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan pedoman hidup kita. Umat Islam hendaklah berusaha untuk mengikhlaskan hati dalam beramal di sepanjang kehidupan. Umat Islam hendaklah menguatkan hubungan dengan Allah SWT dengan memperbanyakkan doa agar diperkuatkan hati supaya istiqomah melaksanakan syariah Allah SWT. Setiap Muslim
hendaklah bersegera melakukan amal soleh dan jangan bertangguh kerana sikap bertangguh membuka pintu kegagalan dan godaan daripada syaitan. Insya-Allah, rakyat dan negeri Johor akan terus selamat, aman, makmur dan maju.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Johor yang dibawa oleh Yang Berhormat Kukup semalam. Sekian, wabiilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)
Terima kasih YB Pemanis kerana bagi saya bonus 2 minit pula, saya bagi dia 5 minit, dia bagi saya 2 minit. Saya persilakan Yang Berhormat Permas, silakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Bangsa Johor dan selamat sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Permas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah diberi peluang dan kesempatan untuk membahaskan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan ucapan, terlebih dahulu Permas mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor. Tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi kerana telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor, tahniah juga kepada Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas penganugerahan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Permas Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor mencemar Duli menyempurnakan Majlis Perasmian Sidang Dewan Kali Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sukalah saya juga ingin memanjatkan rasa kesyukuran kerana dengan limpah kurniaNya saya telah ditakdirkan menjadi seorang Wakil Rakyat di zaman negeri Johor ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional yang kukuh. Saya juga berdoa bersungguh-sungguh agar rakyat tidak lagi terpedaya dengan madah berhelah pihak pembangkang yang tidak akan pernah menceritakan soal kebaikan kerajaan Barisan Nasional. Pada hakikatnya, mereka juga yang paling banyak menikmati kemakmuran yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional agar kerajaan akan terus teguh dan mampu membangunkan semula negeri seperti sediakala. Kerajaan yang kuat sudah pasti dapat membawa segala bentuk pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tanpa menghiraukan suara-suara sumbang pembangkang untuk mengagalkan matlamat kerajaan menuju kejayaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat Johor sangat menaruh harapan dengan terbentuknya kerajaan yang kukuh, ia dapat mengembalikan kemakmuran yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Lebih-lebih lagi dengan kepimpinan Menteri Besar, barisan EXCO terdiri daripada majoritinya daripada golongan-golongan muda yang sudah tentulah mereka berbekalkan tenaga yang kuat dan fikiran yang tajam. Saya yakin kegagahan dan kebijaksanaan mereka dapat membawa negeri Johor ke tahap yang membanggakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mesti ingat kerajaan perlu menyediakan keperluan asas kepada rakyat, rumah mampu milik. Kerajaan sering mengumumkan akan melaksanakan program rumah mampu milik kepada rakyat sama ada kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan selain dari kerajaan Barisan Nasional. Dahulu mula dengan skim rumah murah, ia telah bertukar kepada rumah Mampu Milik Johor. Seperti biasa apabila kerajaan bertukar, ia ditukar nama Rumah Mampu Biaya. Namun, jenama rumah mampu milik jua yang berjaya
dilaksanakan dengan baik. Ia sentiasa menjadi agenda utama setiap kali kerajaan baru ditubuhkan. Kesungguhan pengumuman bersandarkan kepada angka-angka yang menarik membuatkan rakyat menaruh harapan yang tinggi untuk memiliki rumah yang telah dihebohkan oleh kerajaan. Namun, cakap memang senang, nak buat bukan mudah. Lebih-lebih lagi dalam kekalutan kerajaan yang kerap bertukar pucuk pimpinan seperti yang telah kita lalui, tak sampai 4 tahun, kerajaan mempunyai 3 Perdana Menteri manakala negeri Johor pula mempunyai 4 orang Menteri Besar.
Pada Sidang Dewan Ke-13, Johor Jaya membahaskan usul Junjung Kasih Titah Tuanku telah mendakwa bahawa kerajaan gagal membina rumah mampu milik. Manakala Maharani juga membangkitkannya dan sempat juga memetik nama Datuk Mohamed Khalid bin Nordin. Walaupun budaya pembangkang hanya menyatakan kegagalan orang lain dan tak pernah menyatakan kejayaan orang lain, lebih-lebih lagi kejayaan Barisan Nasional, namun saya tak kisah dan tidak terusik langsung pun jiwa dan raga saya. Johor Jaya teruskanlah dengan kata-kata curangmu, sekurang-kurangnya ia akan sentiasa mengingatkan kerajaan supaya terus melaksanakan skim rumah mampu milik demi keselesaan rakyat. (Dewan bertepuk.)
Yang Berhormat Datuk Speaker, sukalah saya untuk mengimbau kembali di era pemerintahan Barisan Nasional. Sebelum pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, kerajaan Barisan Nasional apabila berkata ia akan dikota. Saya menjadikan zaman ini sebagai contoh kerana mempunyai rekod-rekod kejayaan yang telah dicapai. Ketika itu kerajaan telah menjanjikan tidak akan ada kenaikan harga rumah mampu milik dan ia kekal dengan kadar RM42,000.00, RM80,000.00 dan RM150,000.00. Rumah-rumah mampu milik telah dirancang dengan bilangan yang banyak bagi memenuhi keperluan rakyat. Untuk merealisasikan visi ini, kerajaan telah melaksanakan pengambilalihan semula tanah sebanyak 300 ekar di sekitar negeri Johor untuk tujuan rumah mampu milik. Kerajaan ketika itu juga komited bagi mencapai sasaran 60,000 unit rumah mampu milik menjelang 2020. Bermula pembinaan rumah mampu milik pada tahun 2014 dan pada tahun 2017, kerajaan Barisan Nasional telah berjaya menyiapkan sebanyak 5,248 unit dengan sasaran sebanyak 5,490 unit akan disiapkan pada tahun yang sama. Beberapa kawasan telah diadakan majlis pecah tanah seperti di Tanjung Sibong Teluk Jawa yang dikendalikan oleh Syarikat Cresendo Corporation Berhad dan ia gagal dibina hingga sekarang yang pernah dibangkitkan oleh Johor Jaya Sidang Dewan Ke-13 dan Maharani semalam.
Bukan itu sahaja, ada lagi tempat yang masih tergendala, rumah. Pembinaan rumah mampu milik ketika itu berjalan dengan baik dan hampir tiada masalah jika rakyat berhasrat memiliki rumah. Hinggalah sampai ke tahap timbul pula isu banyak tawaran telah dikeluarkan tetapi ramai di antara mereka gagal untuk mendapatkan pinjaman bank. Maka, kerajaan memikirkan pula untuk mengatasi masalah pinjaman wang, kerajaan mula merancang untuk menawarkan kepada rakyat skim sewa beli dan juga berhasrat mewujudkan Bank Johor untuk membantu bagi mereka yang mempunyai masalah pinjaman bank tetapi apakan daya disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Rakyat tidak puas dengan apa yang telah ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional ketika itu, rakyat terpesona dengan janji-janji manis parti pembangkang, rakyat memilih Pakatan Harapan dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Impaknya, segala perancangan hebat kerajaan Barisan Nasional musnah disebabkan oleh keangkuhan kerajaan Pakatan Harapan di peringkat nasional dan kelemahan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di negeri Johor. Semua usaha kerajaan Barisan Nasional tidak mahu diguna pakai, kononnya mereka mempunyai wadah yang lebih baik, cakap tak serupa bikin. Mereka gagal menunaikan janji, rumah mampu biaya yang dicanangkan langsung tidak bergerak, walau sebiji rumah mampu biaya yang baru tidak mampu dibina. Jasa kerajaan mereka hanya mampu menyerahkan kunci kepada rakyat yang telah berjaya memiliki rumah yang diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Johor Jaya juga pernah membangkitkan projek rumah mampu milik yang telah menjalankan pecah tanah tergendala. Kerana apa gagal? Kerana apa? Kerana tumbangnya kerajaan Barisan Nasional maka banyaklah projek-projek rumah rakyat yang tergendala. Pada tahun 2021, kerajaan negeri diperintah oleh pemimpin Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dato’ Sri Utama Ir. Hasni bin Mohammad. Maka, mulalah mengorak langkah, perancangan dapat diatur dengan baik, cahaya mula dinampak di hujung terowong tapi apakan daya kita merancang, Tuhan juga merancang. Kerajaan terbubar lagi disebabkan majoriti terlalu tipis di atas pemergian Yang Berhormat Dato’ Osman bin Sapian. Telah berlaku ugut mengugut, tekan menekan, hinggalah Yang Berhormat Dato’ Sri Hasni mengambil keputusan membubarkan kerajaan supaya kemelut yang dihadapi antara parti-parti kerajaan dapat diselesaikan. Walaupun beliau memegang jawatan Menteri Besar, namun beliau telah mementingkan rakyat berbanding dengan jawatannya dan dengan penuh tanggungjawab, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, DUN dibubarkan. Saya berpandangan ketika ini agak mudah bagi kerajaan meneruskan agenda rumah mampu milik. Dengan kerajaan yang kukuh walau mungkin ada gangguan dari pihak pembangkang tetapi tak mungkin dapat menumbangkan kerajaan, maka kerajaan mempunyai banyak masa untuk menumpukan usaha bagi merealisasikannya. Keperluan rakyat yang mendesak, saya harap kerajaan sekarang dapat melaksanakan dengan lebih banyak rumah mampu milik dan juga mempergiatkan lagi melaksanakan skim sewa beli.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ekonomi adalah antara fokus utama setiap kerajaan. Setelah negara beralih ke era endemik, ekonomi menjadi perbincangan hangat dunia. Negeri Johor tidak terkecuali dengan keadaan ini. Sudah pastilah negeri Johor telah merancangkan strategi-strategi yang kondusif untuk memulihkan semula keadaan ekonomi negeri dan juga rakyat dan saya yakin bahawa Johor mampu dapat mengembalikan zaman kegemilangan ekonomi terbaik dalam perkembangan ekonomi..
Yang Berhormat, Yang Berhormat ada 9 minit lagi masa berbaki. Oleh kerana kita dah masuk jam 1.
Ada soalan-soalan bonus tak untuk saya jawab, dapatkan extra.
Tak ada.
Tak ada.
Sila duduk Yang Berhormat. Kita sambung selepas...
Ok, terima kasih, sekian terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini disambung sekarang. Saya jemput Yang Berhormat Permas menyambung perbahasan selama 9 minit. Silakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Peraturan Dewan.
Peraturan Dewan 45 (13) “Seseorang Ahli itu tidak boleh sekali-kali :
a. Mendatangkan sangkaan-sangkaan yang tidak baik kepada seseorang ahli lain”.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi Permas sebut Johor Jaya, Johor Jaya, Johor Jaya, banyak kalilah Permas sebut tadi. So, dalam ucapan Permas tadi, berkenaan dengan isu rumah mampu milik dalam ucapan Menjunjung Kasih Johor Jaya. Rupanya ucapan saya pada Penggal Ke-13 yang mengatakan penangguhan projek rumah mampu milik. Yang Berhormat Datuk Speaker, itu bukan situasi sekarang. Itu adalah Penggal Ke-13. Sekarang ni Penggal Ke-15 dah banyak kali kita ada pun Menteri Besar yang barulah. So, saya rasa Permas cuba mengelirukan Dewan yang mulia ini dan membawa sangkaan yang buruk kepada saya. Jadi, Johor Jaya minta Permas tarik balik. Sekian, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau adat pertandingan ada first half, ada second half. Jadi, saya harap Yang Berhormat dapat memberikan saya masa kecederaan dan mungkin masa tambahan. Itu adat permainan.
Apa ni, Yang Berhormat Johor Jaya minta Yang Berhormat menarik balik perkara yang disebut tadi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ni, apa yang saya nyatakan adalah perkara yang telah berlaku. Kita hidup pun, kita mesti ada sejarah kita yang perlu kita sebutkan. Jadi saya rasa itu tidak menjadi kesalahan kalau saya mengatakan bahawa perkara yang lepas pun perlu disebutkan. (Dewan bertepuk.) Itu adalah antara panduan untuk kita supaya kita dapat apa ni, menteladani perkara-perkara yang lepas untuk kita bawa ke hadapan. Jadi, saya rasa tak perlulah saya tarik dan saya pun tidak berniat bersangka jahat pun pada siapa-siapa walaupun kita dalam perbezaan idealogi.
Yang kedua, ekonomi adalah antara fokus utama kerajaan. Setelah negara beralih kepada era endemik, ekonomi menjadikan perbincangan hangat dunia. Negeri Johor tidak terkecuali dengan keadaan ini. Sudah pastilah negeri Johor telah merancangkan strategi-strategi yang kondusif untuk memulihkan semula keadan ekonomi negeri dan juga rakyat. Dan, saya yakin bahawa Johor mampu dapat mengembalikan zaman kegemilangan ekonomi terbaik dalam memperkembangkan ekonomi negara. Saya suka mengambil contoh atau mengimbau kembali zaman era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pada 2013 hingga 2018 yang juga telah disebutkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Perancangan zaman itu sangat realistik dan mempunyai bukti kejayaan yang memberangsangkan. Kejayaan demi kejayaan terhasil hingga ia dapat dirasai oleh rakyat Johor. Ketika itu negeri Johor dilihat mampu untuk bersaing dengan negara-negara luar yang jauh lebih maju terutamanya Singapura.
Masih jelas dalam ingatan saya ungkapan yang sangat megah, harimau mengejar singa mampu diucapkan kepimpinan Barisan Nasional dengan keyakinan yang sangat tinggi. Ia terbukti di mana Johor menjadi negeri nombor satu dari segi pertumbuhan ekonomi di mana pertumbuhan ekonomi Johor ketika itu berada pada 5.9%, sementara Malaysia 5.1% manakala Singapura adalah sekitar 3.5%. Di jangka pelabur-pelabur antarabangsa tidak ketinggalan. Singapura melihat Johor adalah tempat yang baik untuk pelaburan kerana kedudukan geografi yang baik, politiknya yang stabil dan polisi yang tetap dan meyakinkan.
Ketika PRU-14, kerajaan Barisan Nasional melancarkan manifesto dengan misi melonjakkan negeri Johor mengatasi Singapura. Kita semua tahu bahawa kerajaan Barisan Nasional pasti akan melaksanakan apa yang dinyatakan dalam manifesto semasa kempen pilihan raya. Cuba kita bayangkan jika kerajaan Barisan Nasional tidak ditumbangkan ketika itu. Sudah tentulah rakyat Johor dapat menikmati kemakmuran yang dicipta oleh kerajaan
hingga ke hari ini. Namun rakyat Johor dirundung malang. Mimpi indah yang disajikan oleh pembangkang telah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional. Terbentuk kerajaan campuran pada tahun 2018 dan segala perancangan kerajaan Barisan Nasional terhenti. Tiada kemajuan yang dibawa ketika itu. Saya bukan cakap main-main tetapi ia boleh dibuktikan dengan fakta yang tidak boleh dinafikan dengan kenaikan dan penurunan jumlah pelaburan.
Johor pernah mempunyai jumlah pelaburan yang sangat baik satu ketika dulu. Jumlah pelaburan tahun 2016 sejumlah RM26.41 bilion. 2017, jumlah pelaburannya sebanyak RM21.53 bilion manakala 2018 sejumlah RM30.51 bilion tetapi tahun 2019 di bawah kerajaan campuran Perikatan Nasional, pelaburan menjunam kepada RM11.46 bilion dan tahun 2020 kepada RM6.7 bilion. Menjunamnya ekonomi jangan salahkan COVID-19 kerana wabak ini mula dikesan pada pertengahan bulan Disember 2019 di Bandar raya Wuhan, Wubei, China. Jika dulu boleh, kenapa sekarang tidak? Kerajaan dengan kekuatan yang ada mendapat kemenangan yang lebih 2/3 majoriti pada pilihan raya negeri lepas sudah pasti mampu melonjakkan kemajuan ekonomi negeri hingga ke tahap yang sangat selesa tanpa terjejas dengan gangguan-gangguan yang bakal dicipta oleh pihak pembangkang.
Kerajaan perlu terus berusaha keras bagi meningkatkan ekonomi agar negeri Johor tidak kembali menjadi halaman belakang Singapura. Jika tidak keberatan, gunakan lagilah ungkapan harimau mengejar singa supaya ianya menjadi motivasi kepada kepimpinan kerajaan sekarang membangunkan ekonomi negeri Johor. Melihat kepada rekod yang lalu, Johor adalah sebuah negeri yang kaya. Rakyat Johor dapat merasai kemakmuran yang dicipta. Kalau padang golf dipenuhi dengan usahawan-usahawan tempatan, namun berbeza ketika ini pengusaha padang golf sangat mengharapkan pemain-pemain dari negeri jiran kerana kekurangan pemain-pemain tempatan.
Peniaga-peniaga di pusat membeli-belah hampir tidak menghiraukan pengunjung tempatan. Ketika itu mereka gembira dengan kehadiran pengunjung-pengunjung negara jiran dan mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Ada yang menjawab ketika itu, tak nak beli tak apa, orang Singapura ada. Kemewahan yang mereka kecapi ketika dulu. Setelah mereka mendapat mengecapi kemewahan, mereka terpedaya dengan janji palsu Pakatan Harapan hingga setengah mereka bersekongkol dengan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha untuk membangunkan ekonomi sangat penting kerana sektor ini yang paling banyak menyediakan pekerjaan juga dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat. Rakyat yang berkemahiran dapat dieksport ke negara jiran dan mereka akan dibelanjakan pendapatan mereka di negeri Johor. Infrastruktur yang sempurna dapat disediakan di setiap pelusuk bandar dan kampung dan tempat riadah yang boleh menggembirakan rakyat setempat. Dengan barisan kepimpinan bernafas baru menjadi harapan warga Johor satu kemajuan yang besar dapat dicapai. Kalau kepimpinan dahulu berusaha keras mengejar singa, saya yakin dan percaya di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi sebagai Menteri Besar akan berjaya untuk Johor bersaing dengan singa yang dianggap sebagai raja ekonomi Asia, Insya-Allah.
Pada amanat Menteri Besar yang lepas, Yang Amat Berhormat telah menyatakan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Noorazam bin Dato’ Haji Othman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Yang Berhormat, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Yang Berhormat Dato’ Asman bin Abdul Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang mengenai kerja-kerja yang telah mereka lakukan. Yang Berhormat Dato’ Noorazam dilihat bekerja siang dan malam, nak ikutkan facebook yang ditunjukkan, memastikan soal jalan raya, keceriaan dan kebersihan dapat dijaga dengan baik. Begitu juga Yang Berhormat Dato’ Asman Shah yang telah menjadikan Majlis Bandaraya Pasir Gudang sebagai PBT
yang pertama yang menggunakan kenderaan EV dan ia disokong oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Dah sampai masanya pihak kerajaan menggunakan kereta jenis ini agar kempen low carbon dapat disambut oleh kerajaan dan swasta.
Saya sebagai Wakil Rakyat kawasan juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua Yang Berhormat Datuk Bandar. Cuma saya kenallah yang apa tu, Iskandar Puteri. Sebab dia bukan kawasan saya, jadi saya tak tahu mungkin apa yang dia buat. Kalau dia kawasan saya pun saya sebut juga.
Dengan penghargaan yang diberi oleh ketua negeri, ia menjadi perangsang kepada pegawai-pegawai kerajaan yang lain memastikan jabatan mereka menjadi antara sebuah jabatan yang terbaik. Terima kasih saya ucapkan kepada Datuk Bandar Pasir Gudang kerana sentiasa mencari jalan terbaik untuk kepentingan dan keselesaan warga Pasir Gudang.
Dengan keterukan SWM dan SW Corp, saya rasa masing-masing pun tahu berkenaan kebolehan mereka. Jika ditegur seperti mencurah air di daun keladi. Sejak saya dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran hingga dinaikkan taraf ke Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sampah sentiasa menjadi isu utama yang hangat. Dengan kegagalan perkhidmatan SWM, Datuk Bandar terpaksa mencari kaedah lain untuk menggunakan sistem Smart Bin untuk memastikan kebersihan Pasir Gudang sentiasa terjaga.
Beliau juga menjadikan penempatan semula penjaja juga menjadi antara agenda utama bagi memastikan keselesaan penjaja dan pengunjung. Tidak kurang dari 6 kawasan baru telah diwujudkan untuk menempatkan semula penjaja yang bertaburan. Dan direka tidak mudah-mudah, angkat-angkat masuk ke stor mereka sebab kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh penjaja. Mereka sentiasa berbincang dan melihat apa yang perlu diperbaiki oleh penjaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berhubung dengan isu alam sekitar di Permas, saya sangat berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah pencemaran yang merosakkan kesihatan sungai-sungai di Pasir Gudang. Jadikanlah ia sungai yang sihat agar ia dapat memulihkan tempat mencari rezeki kepada para nelayan dan juga menjadi tempat pelancongan terindah di rantau ini. Yang Berhormat Datuk Asman selaku, sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, dengan sokongan yang kuat dari kerajaan negeri saya percaya...
Yang Berhormat tinggal satu minit lagi.
Insya-Allah saya akan selesaikanlah. Kalau boleh dapat sedikit lagilah. Akan dicapai sebelum beliau berhijrah ke tempat yang baik-baik untuk orang yang baik.
Last eh. Yang Berhormat Datuk Speaker, kami orang politik jarang sekali mendapat pujian dari mana-mana pihak. Kami tak kisah kerana itulah budaya kami orang politik yang tak akan pernah jemu untuk bermasyarakat hingga ke akhir hayat. Hampir semua rakyat akan mengadu tentang segala masalah pada orang politik kerana orang politik berada di mana-mana. Malah di setiap PBT juga mengharapkan pada Ahli-Ahli Majlis sebagai pemantau setiap sudut kawasan dengan hanya mendapat upah yang sedikit. Saya ingat upahnya di bawah garis B40 lah, golongan B40. Mereka gembira melakukannya kerana mendapat sedikit peruntukan menjalankan program di kawasan masing-masing yang kerap juga terpaksa keluarkan wang poket sendiri untuk menampung kekurangan. Walau dituduh makan rasuah, namun mereka tetap bekerja seperti biasa, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat. Tahniah dan syabas kepada anda semua yang begitu gigih berkhidmat
kepada rakyat. Mudah-mudahan amal jariah kamu semua akan dibalas dengan balasan yang baik di kemudian hari.
Kemenangan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam pilihan raya negeri yang lepas jagalah dengan baik. Janganlah kita ulangi kesilapan yang lepas, lebih-lebih lagi kepada pihak pembangkang jangan terlalu menghasut rakyat hingga rakyat sangat membenci orang-orang politik. Akhirnya kita hanya disukai oleh penyokong tetapi masih ramai lagi yang kecewa dengan sikap kita.
Akhir sekali, sukalah saya mengingatkan lagi kepada semua yang berada di Dewan ini, bekerjalah dengan tekun, pastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disajikan. Rakyat, rakyat, rakyat mesti sentiasa dalam pemikiran kita sepanjang masa. Wabillahitaufik walhidayah assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Permas mohon menyokong, sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Permas. Saya jemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk atas keizinan untuk saya berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu, patik merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang sudi mencemar duli untuk bertitah di dalam Dewan yang mulia ini sempena pembukaan Dewan penggal ini. Patik juga merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas lantikan sebagai Pemangku Raja. Saya juga ambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas penganugerahan gelaran Tan Sri. Saya difahamkan SUK Negeri yang pertama yang menerima penganugerahan tersebut. Sebagai rakyat Johor saya tumpang gembira dan bangga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk sidang kali ini saya ingin bawakan beberapa isu yang saya kira penting diketengahkan dan diambil berat di dalam Dewan Undangan Negeri Johor untuk rakyat Johor. Pertama sekali Johor sebagai hub orang muda. Johor berada dalam keadaan yang cukup baik kerana kita dalam keadaan yang cukup strategik di sebelah Singapura sahaja menjadikan ramai orang muda di Johor yang lebih ingin bekerja di Singapura. Tetapi, sebenarnya kedudukan yang strategik ini sepatut menjadikan Johor mempunyai potensi yang besar untuk menjadi hab orang muda. Bukan sahaja supaya orang-orang muda Johor bekerja dalam negeri Johor, tetapi juga untuk menarik orang-orang muda dari negeri dan negara lain menyumbang tenaga dan kemahiran untuk negeri Johor. Saya ingin mencadangkan 3 inisiatif yang boleh kerajaan negeri jalankan untuk capai matlamat Johor sebagai hab orang muda.
Inisiatif yang pertama, sediakan peluang pekerjaan berimpak tinggi bagi masa depan rakyat Johor yang lebih mampan. Antara masalah paling besar bila kita bercerita dalam negara kita tentang peluang pekerjaan, adalah kerana peluang pekerjaan yang kita ada tidak selari dengan pendidikan yang disediakan di dalam negara. Setiap tahun lebih 100,000 orang graduan STEM akan mengalami kesukaran mendapatkan kerja dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pendidikan. Begitu juga dengan graduan TVET apabila mereka tamat belajar, kerja-kerja yang diluar sana bukanlah kerja-kerja yang berkemahiran tinggi mahupun separa mahir. Kebanyakan kerja yang ditawarkan adalah kerja 4D. Kalau dulu kita sebut sebagai 3D dengan izin, Yang Berhormat Datuk Speaker, dirty, difficult and dangerous. World Economic Forum telah tambah lagi satu D iaitu demining. Jadi, orang-orang muda kita terpaksa bekerja dalam kerja-kerja yang demining. Jika kita lihat kebanyakan orang muda di Johor yang bekerja di Singapura juga di sebabkan kekurangan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir di dalam negeri kita sendiri.
Saya mahu tegaskan di dalam Dewan yang mulia ini, bahawa orang-orang Johor sebenarnya kebanyakannya bijak pandai, suka bekerja keras dan sayangkan negeri Johor. Sekiranya mereka diberikan peluang mereka ingin mencurahkan bakti di negeri mereka sendiri. Tetapi apabila mereka pergi ke Singapura bukan atas pilihan sendiri, tetapi terdesak kerana pekerjaan di Singapura memberikan rezeki yang lebih besar, walhal mereka terpaksa bangun keluar rumah pukul 4, 5 pagi setiap hari. Maka, melihat pada situasi ini menuntut kerajaan negeri Johor untuk berusaha tingkatkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir, saya puji inisiatif Jawatankuasa Pelaburan Johor, cuma saya harap jawatankuasa ini memberikan perhatian dan teliti dengan lebih lanjut agar pelaburan-pelaburan yang datang ke dalam negeri ini juga termasuk untuk indusri-industri baharu yang lebih menarik untuk orang muda. Sebagai contohnya, industri greentech automotive, artificial intelligence, robotic, programming dan banyak lagi. Semua industri-industri ini sekiranya kita kembangkan dengan betul, orang-orang muda di negeri kita bahkan orang-orang muda dari negeri lain juga lebih berminat untuk menyumbangkan tenaga sekaligus meningkatkan ekonomi negeri Johor. Saya juga mahu lihat kerajaan negeri galakan lebih ramai orang-orang muda untuk membuka perniagaan pertama mereka di negeri Johor.
Sebab itu juga lah, saya fikir ada keperluan yang besar untuk negeri Johor mewujudkan sandbox nya sendiri. Kalau kita lihat di peringkat persekutuan ada magic menyediakan sandbox untuk orang-orang muda yang ingin menjalankan startup mereka sendiri. Saya fikir sudah tiba masa untuk negeri Johor juga mewujudkan sandbox untuk anak-anak muda negeri Johor. Ini dapat membantu orang-orang muda memulakan perniagaan mereka sendiri dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara. Orang muda sendiri, saya sendiri sebagai contohnya, tidak suka juga mengharungi trafik yang sesak di sempadan Johor-Singapura setiap hari. Kalau kerajaan negeri Johor dapat bantu mereka bekerja dengan pekerjaan yang lebih bermaruah di negeri Johor, saya pasti orang-orang muda tidak teragak-agak untuk terus bekerja di dalam negeri kita sendiri.
Inisiatif yang kedua untuk menjadikan Johor sebagai hub orang muda adalah untuk menambah fokus kepada sistem automation dalam bidang 4D untuk membuka ruang yang lebih besar kepada pelaburan kerja berkemahiran tinggi. Kerajaan negeri Johor perlu ada pelan jangka masa panjang untuk pastikan orang muda di Johor ini boleh dapat tawaran gaji yang sepadan dengan kos sara hidup. Kalau kita lihat, gaji minima yang telah di pertingkatkan baru-baru ini sebanyak RM1,500.00 sebenarnya masih belum cukup sekiranya dibandingkan dengan kos sara hidup. Sebagai contohnya, laporan KWSP ada menunjukkan untuk orang bujang yang tidak berkenderaan, kos sara hidup yang sesuai adalah sebanyak RM1,870.00, untuk orang bujang yang berkenderaan kos sara hidup yang sesuai adalah RM2,490.00. Kedua-dua ini masih lagi jauh jika nak dibandingkan dengan gaji minima di dalam negara kita. Jadi, saya ingin menyeru kerajaan negeri Johor untuk tingkatkan pelaburan dan bergerak ke arah automation. Kenapa kita perlu bergerak ke arah automation kerana negeri Johor perlu kurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar terutama sekali untuk kerja-kerja berbentuk 4D ini. Jadi, apabila kita bergerak ke arah automation secara tidak langsung kita dapat menyalurkan gaji yang lebih lumayan kepada pekerjaan-pekerjaan separa mahir dan mahir di negeri Johor.
Inisiatif ketiga untuk menjadikan Johor sebagai hub orang muda, adalah untuk menyediakan ekosistem yang kondusif untuk orang muda bekerja dalam negeri. Antara masalah yang dihadapi oleh orang muda di Johor adalah kemudahan awam yang kurang dan juga tidak kondusif. Kebanyakan orang-orang muda lepasan universiti sebagai contohnya, mereka tidak mempunyai kenderaan mereka sendiri. Jadi, sekiranya mereka ingin bekerja mereka perlu menaiki kenderaan awam. Namun, kalau mereka bekerja di Singapura mahupun di Kuala Lumpur sekalipun, mereka boleh menaiki train walaupun Kuala Lumpur ada masalah dengan train, sesak juga sekarang, tetapi kalau di Johor kita cuma ada kemudahan bas awam. Namun begitu, hentian bas awam dalam negeri kita ini masih belum mencukupi.
Sebagai contohnya, untuk orang muda yang duduk di dalam Puteri Wangsa sebagai contohnya ingin bekerja di bandar ada kesukaran untuk bergerak. Begitu juga yang duduk di bandar sekiranya mereka ingin bekerja di Iskandar sebagai contohnya, apatah lagi mereka yang duduk di luar bandar. Saya cadangkan agar kerajaan negeri tambah lagi laluan bas bagi meningkatkan akses mobiliti. Saya pasti bahawa sekiranya kemudahan-kemudahan awam ini, ekosistem yang diwujudkan di dalam negeri Johor ini kondusif untuk orang muda, mereka lebih berminat untuk bekerja di dalam negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua, Johor sebagai negeri mesra OKU. Setakat November 2021, sebanyak 68,120 orang kurang upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia di negeri Johor. Namun, infrastruktur di negeri Johor masih banyak yang tidak mesra OKU. Golongan OKU ini juga mempunyai hak yang sama dengan golongan yang bukan OKU. Mereka ada hak akses mobiliti, mereka ada hak untuk mencari pendapatan, hak untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa, kemudahan-kemudahan awam yang selesa dan kenderaan awam yang ada di negeri Johor ini rata-ratanya tidak mesra OKU terutama sekali bagi OKU fizikal. Saya nak berkongsi cerita tentang seorang OKU di DUN Puteri Wangsa. Beliau nak bekerja, beliau nak cari pendapatan sendiri tak mahu bergantung harap hanya pada bantuan kerajaan setiap bulan. Tetapi, beliau tidak boleh membawa kenderaan sendiri. Pada masa yang sama nak menaiki kenderaan awam juga sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain untuk menaiki kenderaan. Jadi, kadang-kadang ada orang bantu, kadang-kadang tak ada orang bantu. Jadi, walaupun beliau sebenarnya ingin hidup berdikari, amat sukar kerana kenderaan awam di dalam negeri kita ini tidak mesra OKU.
Saya cadangkan kerajaan negeri untuk jalankan audit akses ke atas kenderaan-kenderaan awam di negeri Johor. Kena turun dan tengok sendiri laluan pejalan kaki sama ada laluan pejalan kaki kita sesuai untuk orang OKU. Stesen-stesen bas kita, perhentian teksi kita, sesuai atau pun tidak? Kalau nak masuk pejabat dan agensi kerajaan sebagai contohnya, adakah akses mobiliti ini ada untuk golongan OKU dalam negeri kita? Sekiranya kenderaan awam dan bangunan-bangunan awam kita dibuat kondusif dan mesra OKU, pada masa yang sama secara tidak langsung ia menyediakan akses mobiliti kepada seluruh golongan di dalam negeri Johor ini.
Selain daripada kenderaan awam, kerajaan juga perlu memberikan tumpuan kepada fasiliti yang disediakan di kawasan projek-projek perumahan rakyat. Hampir ke semua rumah PPR di negeri Johor ini tidak mesra OKU. Sekadar menyediakan tempat parking OKU sahaja belum cukup lagi, itu pun ada dua, tiga sahaja. Saya nak kongsi lagi satu cerita dari DUN Puteri Wangsa di mana seorang lelaki OKU yang uzur yang perlu pergi menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu tetapi duduk di PPR tingkat 3. Setiap kali beliau nak turun untuk pergi menjalani rawatan dialisis anaknya perlu ambil time off untuk pergi ambil bapanya kemudian naikkan balik, angkat bapanya balik ke PPR. Saya cadangkan agar kerajaan negeri tubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memastikan negeri Johor menjadi negeri yang mesra OKU. Bukan sahaja untuk OKU fizikal tetapi juga untuk keenam-enam kategori OKU yang diiktiraf oleh negara kita. Negeri Johor harus menjadi negeri nombor 1 dalam hal-hal menjaga kebajikan dan masa hadapan kumpulan OKU ini. Mungkin pada orang luar kebajikan OKU ini dianggap beban dan bermasalah tetapi negeri Johor harus jadikan isu ini isu pokok di negeri kita. Biar negeri kita jadi negeri contoh sebagai negeri mesra OKU.
Ketiga, Johor jaga kebajikan semua pelajar. Saya juga terpanggil untuk membangkitkan isu berkenaan anak-anak pendidikan khas di Johor. Setakat tahun 2021, Johor mencatatkan jumlah murid pendidikan khas sebanyak 10,721 orang. Jumlah ini semakin hari semakin meningkat. Namun, kelas-kelas pendidikan khas yang ada di dalam negeri kita rata-ratanya melebihi kapasiti murid. Anak-anak ini mempunyai keperluan yang berbeza jika dibandingkan dengan kawan-kawan mereka yang lain. Mengikut tahap-tahap kemampuan mereka. Ada juga yang perlu diasingkan daripada kawan-kawan yang lain atas faktor
keselamatan pelajar itu sendiri. Namun begitu, pengasingan ini amat sukar dibuat apabila kelas-kelas pendidikan khas yang sedia ada melebihi kapasiti murid. Perkara ini membahayakan bukan sahaja pelajar itu sendiri, tetapi kawan-kawannya dan juga warga pendidik di sekolah itu. Saya baru dapat jawapan bertulis daripada YB EXCO sebentar tadi, tentang cara-cara untuk meningkatkan jumlah kelas pendidikan khas. Ada 4 buah kelas PPK baharu yang akan dibina di sini. Namun begitu, saya harap juga agar kerajaan negeri turut mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberikan tumpuan yang lebih terhadap usaha bukan sahaja mewujudkan lebih banyak kelas, tetapi membangunkan kelas-kelas ini supaya keadaannya lebih kondusif dan sesuai dengan saranan peringkat antarabangsa. Saya lihat ada sekolah yang sampai pelajarnya buka baju dalam kelas meronta-ronta bila cikgu suruh pakai baju balik, sebab kelasnya sangat sempit, panas dan memang tidak kondusif untuk pelajar tersebut. Mungkin YB EXCO bersama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh jemput Menteri KPM sendiri untuk turun melihat keadaan sekolah-sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas di negeri kita. Kita lihat sendiri nasib anak-anak pendidikan khas ini supaya mereka tidak dianaktirikan berbanding dengan kawan-kawan yang lain.
Keempat, Johor perlu perjuangkan nasib ibu tinggal. Semalam soalan saya berkenaan ibu tinggal ini naik tapi tak sempat nak diajukan. Bila saya bercakap tentang ibu tinggal, ramai yang kata typo ataupun saya tersalah sebut, tak, saya memang nak sebut ibu tinggal bukan ibu tunggal. Ibu tinggal ini merupakan ibu yang digantung tanpa bertali. Suami mereka melarikan diri tanpa menceraikan mereka dengan sah bermakna mereka tidak diangkat status sebagai ibu tunggal di bawah kerajaan persekutuan. Sebagai contohnya, saya berjumpa dengan seorang ibu tinggal yang gajinya hanya RM1,500.00 mempunya 4 orang anak terpaksa juga menjaga ibu dan juga adik si suami yang telah pun lari. Apabila mereka ingin memohon bantuan ibu tunggal di Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka tidak berjaya mendapatkan bantuan kerana mengikut status yang sah, mereka masih lagi mempunyai suami. Ibu-ibu tinggal ini juga tidak dapat menerima bantuan untuk keluarga B40 sebagai contohnya Bantuan Prihati Nasional yang hanya diberikan kepada ketua-ketua keluarga dan kiranya tengok kepada rekod, suami mereka telah ambil bantuan itu. Jadi, ibu-ibu tinggal ini tidak dapat menerima bantuan tersebut. Telefon suami, suami tak angkat. Mereka berada dalam keadaan yang sama atau mungkin lebih parah daripada ibu-ibu tunggal. Saya difahamkan menerusi jawapan bertulis YB EXCO bahawa YPKDT mengiktiraf golongan ibu tinggal dalam program-program yang dijalankan oleh kerajaan negeri. Saya amat puji tindakan ini. Saya juga mencadangkan agar YB EXCO turut mendesak kerajaan persekutuan untuk turut mengiktiraf nasib ibu tinggal di peringkat persekuturan agar mereka juga layak mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga bantuan-bantuan lain di peringkat persekutuan. Semalam juga YB EXCO ada menceritakan tentang usaha YPKDT untuk bantu ibu-ibu tunggal sebagai contohnya ada juga usaha untuk memberikan mereka program-program untuk berniaga atas talian. Namun begitu sekiranya kita melihat pada ibu-ibu tunggal atau ibu-ibu tinggal ini, walaupun mereka ingin menjalankan perniagaan atas talian mereka kemungkinan tidak ada kenderaan untuk melakukan penghantaran dan sebagainya. Saya cadangkan agar kerajaan juga turut menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat penghantaran bagi memberikan mereka satu cara yang lain untuk menjalankan penghantaran sekiranya mereka ingin berniaga atas talian dan juga hidup secara lebih berdikari.
Kelima, Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingin bercerita tentang projek-projek perumahan yang terbengkalai dan projek perumahan rakyat yang tidak diuruskan dengan baik. Saya menjunjung seruan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim dalam ucapan Baginda tempoh hari berkenaan kualiti kerja pemaju-pemaju perumahan dan projek-projek yang tidak disiapkan. Saya juga sudah berhubung dengan YB Datuk Jafni, YB EXCO untuk membangkitkan isu Flat Taman Mount Austin di mana isu ini pemaju meninggalkan kawasan ini, pembeli sudah membuat bayaran namun hanya 4 blok siap dibina. Manakala 6 blok lagi terbengkalai begitu sahaja. Rata-rata pembeli ini terpaksa menyewa rumah lain
dan keadaan mereka sudah lebih daripada 15 tahun. Saya pasti Flat Taman Mount Austin ini bukan satu-satunya projek terbengkalai yang ada di negeri Johor akibat pemaju yang tidak bertanggungjawab. Saya harap kerajaan negeri bawah YB EXCO juga segera jalankan kajian daya maju projek dan sediakan pelan pemulihan bagi membela nasib pembeli-pembeli. 15 tahun penantian bukan masa yang singkat. Saya juga dengan rela hati sedia untuk membantu sekiranya YB EXCO ingin turun ke Puteri wangsa untuk melihat projek-projek yang terbengkalai di kawasan saya.
Saya juga ingin membangkitkan isu projek perumahan rakyat yang tidak diselenggara dengan baik. Banyak isu yang telah dibawa ke perhatian saya berkaitan penyelenggaraan di PPR. Saya ingin memberi perhatian khusus kepada PPR Taman Desa Mutiara dalam sidang kali ini. PPR Taman Desa Mutiara ini menempatkan lebih 10,000 orang penduduk. Namun begitu ruang letak keretanya sangat terhad mereka mula dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker double park dan menyebabkan kesesakan yang sangat teruk sehingga ada satu masa itu Bomba pun susah nak masuk apabila ada kebakaran. Hal ini bukan sahaja melibatkan keselesaan penduduk tetapi sudah juga masuk isu keselamatan penduduk di sana. Saya juga bimbang melihat penyelenggaraan yang tidak dijalankan dengan baik di mana lampu jalan raya yang sudah lama tak menyala, main hole bocor, padang yang tak kondusif dan banyak lagi masalah. Saya harap kerajaan negeri juga dapat memastikan projek-projek perumahan ini semua dalam keadaan yang baik bagi keselesaan dan keselamatan rakyat Johor.
Yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker, kerjasama by-partisan dalam menyelesaikan isu rakyat. Yang Berhormat Datuk Speaker kerajaan yang baik adalah kerajaan yang meraikan perbezaan pendapat, berhubung dan berunding dengan semua pihak dan meraikan pendapat semua termasuk pihak pembangkang dalam menyelesaikan isu rakyat. Dalam jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam berkenaan pencapaian 100 hari, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar ada menyebut tentang usaha kerajaan untuk mewujudkan makmal-makmal bagi meneliti dasar untuk negeri Johor. Saya mencadangkan agar Datuk Menteri Besar melibatkan pihak pembangkang dalam makmal-makmal ini juga. Hal ini bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Sebagai contohnya Makmal Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara, Makmal Jawatankuasa TVET Kebangsaan semua ini melibatkan by-partisanship antara kerajaan dan juga pihak pembangkang. Usaha mantan Menteri Besar Johor yang meraikan by-partisanship di negeri Johor sepatutnya diraikan. Semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor tidak kira di blok kerajaan ataupun blok pembangkang mempunyai cita-cita besar untuk membangunkan negeri Johor sebagai sebuah negeri contoh, berkebajikan dan juga maju. Caranya mungkin berbeza-beza, rancangan dan pelan kita mungkin tidak sama tetapi matlamat dan niat kita pada akhirnya merupakan matlamat dan niat yang serupa. Maka kerajaan dan pembangkang Johor harus ketepikan identiti politik parti apabila kita bercerita tentang isu rakyat. Memetik kata-kata YB Permas sebentar tadi kita perlu fikir rakyat, rakyat, rakyat. Saya lebih gembira jika agenda membangunkan negeri Johor ini dilaksanakan bersama-sama antara kerajaan dan juga pembangkang. YB Datuk Speaker, ini adalah ucapan sulong saya di dalam Dewan Yang Mulia ini, saya punya harapan yang besar untuk melihat negeri Johor ini bertambah makmur. Johor harus jadi nombor 1 dalam nilai tanggungjawab dan juga integriti. Johor harus jadi juara dalam mengangkat suara dan kebajikan rakyat negeri sendiri. Johor harus jadi yang pertama dalam pembangunan dan masa hadapan. Saya dengan penuh rasa takzim menjunjung titah dan kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang sudi mencemar duli untuk bertitah di dalam Dewan Yang Mulia ini. Semoga negeri Johor ini terus dilimpahi rahmat, dipenuhi berkat dan di semai kasih dari negeri kepada rakyat. Amin ya rabbalalamin. Terima kasih Datuk Speaker. (Dewan bertepuk.)
Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa. Saya jemput Yang Berhormat Sungai Balang. Silakan.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Melati Kuntum Tumbuh Melata, Sayang Merbah Di Pohon Cemara. Assalammualaikum Mulanya Kata, Saya Sembah Pembuka Bicara. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Puad bin Zarkashi di atas pelantikan sebagai Speaker dan Yang Berhormat Datuk Samsolbari bin Jamali yang dilatnik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor. Tidak lupa juga diucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang telah dianugerahi Darjah Persekutuan yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong baru-baru ini. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kekuasaannya serta pertolongannya memberi kemudahan dan kelancaran Pembukaan Rasmi Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 dan hari kedua Persidangan pada hari ini. Saya dahului ucapan saya dengan menzahirkan rasa takzim menjunjung kasih di atas titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menyentuh aspek yang menyeluruh dalam hal ehwal negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai wakil rakyat yang telah dipilih, saya menyentuh beberapa isu berkenaan kawasan saya dan juga negeri Johor dan antara isu yang dekat dan menjadi suara hati rakyat sebagaimana yang disebut oleh sahabat saya daripada Permas iaitu berkenaan dengan perumahan terutamanya rumah mampu milik yang menjadi matlamat sesebuah keluarga untuk memulakan penghidupan baharu. Rumah merupakan satu keperluan yang penting bagi pembentukan citra sebuah keluarga yang kemudiannya membentuk masyarakat seterusnya membentuk identiti negara. Justeru saya menyeru kerajaan negeri agar dapat menawarkan pelan penyelesaian kepada permasalahan untuk memenuhi permintaan bagi rumah mampu milik dan kos rendah ini. Hal ini merupakan satu tuntutan mendesak kerana golongan muda kita yang baru ingin membina penghidupan berkeluarga dan memerlukan tempat tinggal yang selesa selepas membina kerjaya dan keluarga. Oleh yang demikian, saya memohon pihak kerajaan khususnya EXCO yang berkenaan menumpukan usaha menambahkan jumlah perumahan mampu milik dan kos rendah di kawasan-kawasan yang mempunyai permintaan yang banyak. Dan di kawasan saya ini kebiasaannya ramai di antara mereka yang mohon SPNB namun kita sedia maklum SPNB ini agak nampak keterbatasan dalam permohonan sehingga hari ini ramai yang masih hanging untuk diluluskan.
Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingin memberi contoh seperti di kawasan saya di DUN Sungai Balang masih lagi kurangnya rumah pembinaan mampu milik untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan inilah yang terpaksa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa. Kita juga sedar pemaju menawarkan rumah mampu dilihat berbanding rumah mampu milik kepada rakyat khususnya kepada golongan di bawah kategori B40. Oleh yang demikian, kita berhadapan dengan masalah lambakan rumah yang tidak terjual. Dan ini akan merugikan sektor perumahan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, masyarakat luar bandar amat memerlukan perhatian daripada aspek pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan sedia ada seperti perparitan, jalan dan lampu jalan. Dalam konteks ekonomi, mereka yang menduduki kawasan luar bandar memerlukan jalan yang baik bagi membawa hasil pertanian dan produk ke tempat penjualan. Apabila akses jalan yang baik maka kesan lonjakan ekonomi dapat diperolehi dalam jangka masa yang singkat. Saya memohon supaya kerajaan dapat menumpukan soal membina dan menaiktaraf jalan-jalan di kawasan sungai balang terutamanya di kampung yang mana, apabila pada hari cuti persekolahan dan apabila warga kota pulang ke desa untuk balik ke kampung menziarahi ibu bapa dan keluarga dan keadaan ini akan menjadi sempit dan kurang elok maka aliran trafik kawasan tersebut akan
mengalami kesesakan dan di situ saya mencadangkan supaya jalan-jalan kampung ini dilebarkan dan dinaik taraf bagi memberi keselesaan trafik pada waktu tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan geografi Sungai Balang ini mempunyai banyak parit namun penyelenggaraan parit-parit tersebut amat lambat dan mendukacitakan yang menyebabkan bila berlakunya hujan paras air meningkat dengan cepat. Parit tertutup dengan semak samun dan menyebabkan aliran perlahan dan menjadi bencana banjir. Justeru saya meminta supaya pihak yang berkaitan untuk menambah kekerapan kerja-kerja penyelenggaraan parit-parit yang berada di kawasan Sungai Balang. Sungai Balang juga mempunyai kawasan tanaman padi yang menyumbang dalam usaha pengeluaran makanan negara sebagai dasar langkah keselamatan makanan dalam menghadapi kemungkinan berlaku krisis makanan. Justeru itu, saya mengharap agar Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Dan Asas Tani Dan Kemajuan Luar Bandar dapat menekankan usaha menambah dan memaksimumkan pengeluaran padi di kawasan tersebut supaya kebergantungan kita khasnya di negeri johor kepada beras import dapat dikurangkan. Saya juga memohon supaya para pesawah dapat diberikan bantuan dan sokongan serta inisiatif menarik bagi usaha menggalakkan mereka untuk mengoptimumkan hasil padi yang dituai.
Yang Berhormat Datuk Speaker malang tidak berbau, sedia payung sebelum hujan. Kawasan saya, Sungai Balang ini terletak sejauh 35 kilometer daripada bandar Muar dan 33 kilometer daripada Batu Pahat. Sudah semestinya masa respons pihak Bomba untuk ke kawasan Sungai Balang memakan masa yang agak lama. Keperluan sebuah Balai Bomba untuk situasi kecemasan seperti kebakaran amat diperlukan di kawasan Sungai Balang ini. Hal ini belum lagi pihak Bomba terpaksa menghadapi aliran trafik yang perlahan pada sesetengah masa menyebabkan peluang menyelamatkan harta benda yang terbakar semakin tipis. Justeru itu, wajarlah pihak kerajaan membina sebuah Balai Bomba dengan fasiliti menyelamat yang lengkap dari aspek jentera, peralatan dan lain-lain. Perkara ini sememangnya telah disuarakan oleh penduduk kawasan Sungai Balang termasuklah sahabat saya daripada Bakri juga memerlukan keselamatan ini yang melihat kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini bahawa harta benda yang terlibat dalam kebakaran tidak dapat diselamatkan kerana faktor tersebut. Tambahan pula DUN Sungai Balang adalah terletak di kawasan Hab Perindustrian Perabot Utama Negara yang menyumbang kepada pendapatan negeri dan negara sudah tentu langkah membina sebuah Balai Bomba baru ini amat memberi rasa selamat kepada pengilang dan penduduk sekitarnya dan jika berlaku sebarang kemungkinan untuk makluman Dewan, sebidang tanah di kawasan Sungai Balang telah digazetkan sebagai tapak Bomba sebab itu saya selaku ADUN Sungai Balang memohon sangat supaya sebuah Bomba ini dapat dibina di kawasan tempat saya kerana tanahnya itu telah digazetkan untuk khas untuk Bomba.
Aspek keselamatan warga Sungai Balang juga menjadi tumpuan utama saya dalam melindungi rakyat daripada ancaman jenayah. Justeru itu, saya memohon kerajaan menimbangkan untuk menaiktaraf pondok Polis di Parit Yusof kepada Balai Polis. Hal ini kerana pekan Parit Yusof telah mengalami pertambahan penduduk dan jurang nisbah antara penduduk dengan jumlah anggota polis semakin melebar. Dengan usaha menaiktaraf pondok Polis kepada Balai Polis diharapkan dapat meningkatkan tahap keselamatan orang ramai terhadap risiko jenayah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, air bersih juga merupakan satu keperluan hidup rakyat dalam menyelami kehidupan harian. Namun, antara permasalahan yang timbul di kawasan saya adalah kerap berlakunya gangguan bekalan air. Terutama pada waktu menjelang malam dan waktu puncak seperti cuti persekolahan dan perayaan. Oleh itu, saya meminta pihak terbabit dapat mengambil langkah untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air ini dan dapat memastikan kapasiti simpanan air di kawasan yang sering berlaku gangguan bekalan dapat ditingkatkan kapasiti airnya. Saya juga mendapati bahawa gangguan
bekalan air ini sering berlaku ekoran kes batang paip lama pecah dan sebagainya. Diminta juga kepada pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dapat mengenalpasti batang-batang paip lama yang uzur dapat digantikan dengan batang paip yang baru.
Datuk Speaker yang dimuliakan, menyedari hakikat bahawa negara ini melahirkan ramai graduan lepasan universiti setiap tahun. Namun begitu, pasaran kerja yang ada dalam sektor kerajaan adalah terhad dan perlu untuk menceburkan diri dalam bidang sektor pekerjaan swasta ataupun memulakan perniagaan sendiri. Oleh hal yang demikian, sebagai kerajaan negeri tanggungjawab untuk menyediakan peluang pekerjaan adalah amatlah diharapkan oleh rakyat. Saya percaya dengan menyambung semula projek kereta api berkelajuan tinggi atau HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur, sepertimana yang dititahkan oleh Baginda Tuanku ia bakal memberikan manfaat peluang yang banyak kepada anak Johor yang mempunyai pelbagai bidang kelulusan. Dengan 3 stesen perhentian yang akan dibina di negeri Johor, sudah semestinya impak ekonomi yang terhasil akan melimpah ke kawasan sekitarnya.
Pelbagai skop ruang pekerjaan akan terhasil dari projek ini kepada anak Johor dan dapat mengurangkan jumlah pengangguran yang berlaku. Selain itu, rakyat kawasan Sungai Balang ini khasnya dan daerah Muar amnya bakal mendapat kesan kemakmuran ekonomi dalam tahun-tahun mendatang di mana sebuah koridor perkapalan perkhidmatan petroleum akan dibina di daerah Muar iaitu Maharani Energy Gateway. Saya merasa amat gembira dan bersyukur wajah Muar dan Sungai Balang akan berubah dan menjadi kawasan maju dan berdaya saing pada waktu akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap dalam soal kedaulatan tanah air khasnya, negeri Johor sepertimana yang dibawa oleh Sri Medan pada hari semalam, saya amat prihatin dan memberi sokongan sepenuhnya. Dalam usaha rayuan semula, dalam menuntut Pedra Branca ataupun Pulau Batu Puteh yang dilepaskan begitu saja oleh kerajaan kepimpinan terdahulu. Ini merupakan satu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan mencerminkan sebuah jentera yang tidak kompeten dalam memacu negara. Justeru itu, seharusnya bersabit perkara ini dan usaha untuk menebus kembali kedaulatan negeri Johor. Sebarang bentuk usaha mengembalikan kedaulatan Pulau Batu Puteh perlu diambil oleh pihak kerajaan negeri dan persekutuan. Kerajaan Johor perlu melantik pakar-pakar dalam bidang untuk menuntut semula kedaulatan pulau tersebut. Apalah yang dapat kita warisi kepada keturunan kita melainkan kedaulatan tanah air yang nenek moyang kita perjuangkan dahulu dengan darah dan keringat bermati-matian mempertahankan kedaulatannya dari pencerobohan oleh warga asing. (Dewan bertepuk.)
Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Sungai Balang masih terdapat banyak nelayan yang tidak memiliki lesen bot ataupun sistem kuota yang diamalkan oleh Jabatan Perikanan. Justeru itu, kerajaan perlu mengkaji bagaimana kita dapat membantu mereka untuk memiliki lesen tersebut. Supaya mereka dapat menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara sah dan layak untuk mendapat bantuan daripada pihak kerajaan seperti mana yang diterima oleh pemegang lesen bot yang lain. Selain itu, para nelayan juga memerlukan sebuah jeti pendaratan ikan dan meletakkan bot mereka dengan selamat. Justeru itu, kita memerlukan sebuah jeti baharu seperti di Parit Kassim dan juga Parit Kedondong dengan mempunyai akses jalan penghubung bagi memudahkan nelayan membawa hasil tangkapan mereka ke pusat jualan atau ke pasar awam. Nelayan di kawasan tersebut buat masa ini mengambil inisiatif dengan menggunakan kayu untuk meletakkan bot dan memunggah hasil tangkapan mereka. Tidak ketinggalan juga para nelayan yang mengusahakan penternakan kupang di kawasan Sungai Balang Laut. Jadi, kalau Datuk Speaker ada kesempatan lalu Sungai Balang, ring ring saya untuk saya bawa makan kupang laut yang sangat segar lagi mengasyikkan.
Saya mengharapkan agar pihak yang berkenaan khususnya EXCO yang bertanggungjawab dalam portfolio tersebut dapat memberikan bantuan dan sokongan pelbagai aspek bagi menambah skala pengeluaran pergerakan memenuhi permintaan pasaran yang tinggi di dalam kawasan ataupun luar daerah Muar. Produk kampung ini juga berpotensi untuk (masalah teknikal) pihak kerajaan memandang serius dan bersungguh-sungguh dalam menambah daya pengeluaran dan memerlukan R&D bagi kaedah penternakan dan kaedah pemasaran yang memenuhi piawai antarabangsa supaya dapat diterima dan dipasarkan ke luar negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Menjunjung Titah Tuanku berkenaan pelantikan Ketua Kampung di negeri Johor, saya begitu prihatin dan begitu kagum dengan peranan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh mereka sebagai pentadbir di peringkat kampung. Tugas-tugas Ketua Kampung seperti yang kita maklum adalah tugas yang berat dan tidak mengira masa apabila masyarakat kampung memerlukan sebarang perkhidmatan dan pertolongan daripada Ketua Kampung. Namun begitu, imbuhan yang diterima oleh Ketua Kampung ini dikira masih rendah untuk dinilai pada tanggungjawab yang mereka jalankan untuk masyarakat setempat. Memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat kini, dengan elaun Ketua Kampung sebanyak RM900.00 sudah semestinya ia satu nilai yang tidak setimpal kepada tugas dan tanggungjawab mereka lakukan demi masyarakat. Kita faham bahawa kerajaan pusat membayar sebanyak RM500.00 dan kerajaan negeri RM400.00 yang menjadikan jumlahnya sebanyak RM900.00. Justeru itu, saya memohon jasa baik kerajaan negeri untuk menaikkan elaun Ketua Kampung daripada RM900.00 kepada RM1,500.00 (Dewan bertepuk) seperti mana juga yang diumumkan oleh EXCO Agama tadi tentang kenaikan elaun imam-imam dan bilal-bilal. Saya yakin dan pasti bukan semua orang sanggup menggalas tugas dan tanggungjawab seperti ketua kampung jalankan dengan kadar elaun di bawah kadar gaji minimum kini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keharmonian hidup masyarakat DUN Sungai Balang di kampung-kampung kini telah terganggu. Ancaman monyet dan anjing liar serta babi yang berkeliaran merosakkan tanaman dan harta benda serta haiwan ternakan. Implikasi pembangunan yang pesat telah menyebabkan monyet berpindah ke kampung dan mendatangkan masalah yang agak serius. Penduduk kampung sering mengeluh bahawa segerombolan monyet yang datang telah merosakkan tanaman mereka seperti buah-buahan dan peralatan rumah. Anjing liar yang berkeliaran juga telah mendatangkan masalah kepada ternakan penduduk kampung khasnya ayam di mana ayam-ayam tersebut dimakan oleh anjing liar dan selain itu juga anjing liar ini dapat mendatangkan bahaya kepada orang awam sekiranya ia menyerang dan mengganas. Tambah parah sekiranya anjing liar yang berkeliaran itu berisiko menyebarkan virus Rabies kepada manusia dan mendatangkan kemudaratan kesihatan orang awam. Baru-baru ini, beberapa kemalangan orang awam yang melibatkan babi hutan telah menyebabkan kehilangan nyawa kepada mereka yang melanggarnya. Perkara ini sudah semestinya amat menyedihkan dan menyebabkan negeri kehilangan aset tenaga berharga. Oleh yang demikian, saya mengesyorkan pihak kerajaan membuka semula kebenaran memburu lesen, memburu untuk lesen memburu untuk menembak babi kepada pemilik senjata api yang kita tahu sekarang ini telah ditutupkan buat sementara waktu.
Justeru, masyarakat di kawasan Sarang Buaya dan Sungai Balang, minta maaf. Justeru masyarakat di kawasan Sungai Balang memohon kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras gangguan haiwan liar yang berkeliaran ini supaya kehidupan masyarakat setempat dapat kembali tenang dan terhindar daripada risiko yang memudaratkan nyawa dan harta benda.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan Sungai Balang juga terkenal dengan aktiviti hiking khususnya di kawasan Bukit Mor. Itulah satu-satunya kawasan tanah tinggi yang terdapat sehingga hari ini. Ramai orang yang datang dari pelbagai tempat ke bukit tersebut untuk
melakukan aktiviti riadah bersama rakan mahu pun keluarga. Namun terdapat ancaman risiko yang berbahaya di atas puncak Bukit Mor ini oleh kerana kawasan tersebut merupakan kawasan kuari batu yang diusahakan dan dimiliki oleh sebuah syarikat. Oleh yang demikian, saya memohon pihak seperti Pejabat Tanah dan Galian, dan juga pihak Geosains dan Mineral untuk melakukan pemantauan dan kajian struktur tanah tersebut demi menjamin keselamatan kerana kawasan tersebut adalah merupakan tanah pertanian yang hari ini dipenuhi oleh durian dan juga sebuah tanah perkuburan kaum Tiong Hua.
Turut tidak ketinggalan Sungai Balang juga kaya dengan khazanah budaya dan adat resam. Juga perusahaan IKS seperti kuda kepang, barongan, zapin...
Yang Berhormat masa telah pun tamat.
Saya mohon untuk masa kecederaan Datuk Speaker. Turut tidak ketinggalan di Sungai Balang ini juga kaya dengan khazanah seperti adat resam, juga perusahan IKS seperti kuda kepang, barongan, wayang kulit dan juga rumah tradisional Jawa Keraton Mbah Anang. Ya, jadi kalau berkesempatan datang ke DUN saya, saya akan bawa anda pergi ke Tanjung Balai dan juga kawasan-kawasan menarik seperti kita berada di negeri seberang. Dan juga, kita juga ada perusahan membuat ceketeng, ceketeng ini adalah sebuah perusahaan membina gerabak untuk perusahaan mengangkut hasil-hasil kampung, kerepek dan kuih dan sebagainya. Hal ini merupakan satu produk pelancongan yang dapat dipromosikan untuk menarik pelancong datang ke negeri Johor amnya ke Sungai Balang. Walaupun produk pelancongan ini telah diketahui oleh masyarakat setempat, ia perlu diperkasakan lagi di dalam sudut aspek promosi dan menambah produk pelancongan tersebut supaya ia lebih dikenali di peringkat antarabangsa. Kerjasama pelbagai hala juga perlu dilakukan bagi melakukan kajian kebudayaan secara mendalam supaya ia dapat didokumentasikan agar ia kekal terpelihara zaman untuk waris akan datang. Insya-Allah saya wakil rakyat di Sungai Balang berasa sangat optimis dan positif terhadap langkah Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi, Menteri Besar Johor yang melalui 6 teras utama yang diilhamkan di bawah dasar Maju Johor. Semoga usaha ini mendapat pertolongan Allah dan menjadi negeri Johor sebagai negeri yang baik dengan Tuhan yang Maha Pengampun serta kuasa ekonomi yang disegani. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang memohon Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 3.45 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.30 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 3.45 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor. Perbahasan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat rakan-rakan hadirin sekalian. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama sekali saya menzahirkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya saya diberikan kesempatan berada di dalam Dewan yang mulia mewakili rakyat Kota Iskandar untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada hari ini. Menanti 18 tahun merupakan satu keseksaan Yang Berhormat Datuk Speaker. 18 tahun ketika 11 Mac 2004.
Dah boleh mengundi tu..
Sepatutnya saya dah berada di Dewan yang mulia ini, tetapi dengan kesabaran 12.3.2022 saya dinobatkan di Dewan yang mulia ini. (Dewan bertepuk.) Terima kasih tahniah kepada Datuk Speaker yang baru yang telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan perjalanan sidang Dewan yang mulia ini.
Patik merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim kerana perkenan merasmikan Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor pada 16 Jun 2022 yang lalu. Di kesempatan ini juga, patik ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah dan kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Pemangku Raja Johor. Insya-Allah, titah Tuanku akan menjadi panduan dan landasan bagi semua Ahli Yang Berhormat dalam menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat yang telah memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac yang lalu.
Saya turut ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional yang telah berjaya terpilih memenangi PRN Johor dengan majoriti lebih daripada 2/3 dan tahniah juga kepada Wakil Rakyat pembangkang yang berada di dalam Dewan ini. Namun, kemenangan ini tidak harus menjadikan kita leka, lupa, sebaliknya harus diterjemahkan dengan kerja yang gigih, memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat yang kita wakili walaupun tanpa mengira fahaman politik, kaum dan bangsa.
Tidak lupa juga saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19. Dengan kesempatan ini, Kota Iskandar juga turut mengucap terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Utama Ir. Haji Hasni Mohammad, mantan Menteri Besar Johor yang ke-18 yang telah berjaya memimpin negeri Johor Darul Ta’zim dengan jayanya. Banyak usaha yang telah dilakukan oleh beliau khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19 dalam membantu rakyat yang terjejas akibat penularan wabak maut COVID ini. YB Benut telah berjaya membawa Barisan Nasional berjaya mengurangkan kerusi pembangkang dalam Dewan yang mulia ini. (Dewan bertepuk.) Insya-Allah MP Iskandar Puteri juga akan kita rampas pada pilihan raya yang akan datang ini.
Tahniah kepada barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru. Laksanakanlah tanggungjawab dan amanah serta tugas yang diberikan dengan baik, jujur, telus dan adil. Rakyat Johor menaruh harapan yang tinggi kepada kalian untuk membantu Yang Amat Berhormat Menteri Besar mentadbir negeri ini dalam tempoh 5 tahun yang akan datang. Tidak lengkap sekiranya saya tidak menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor serta pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah mengambil tanggungjawab dengan baik untuk mempastikan urusan pentadbiran kerajaan negeri Johor dengan baik sekali.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam titah Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim pada 16 Jun yang lalu, ada beberapa aspek ditekankan oleh Tuanku, antara aspek yang akan saya sentuh ialah tentang usaha kita nak membangunkan negeri Johor yang kita cintai ini. Pendekatan membela rakyat, aspek infrastruktur khususnya di kawasan Kota Iskandar yang tuan-tuan berada di sini. Namun, pertama sekali saya ingin berkongsi harapan bersama semua Ahli Dewan yang mulia ini, rasakan perkara ini amat penting sebagai peringatan diri sendiri dan semua Ahli Dewan iaitu kita saling kerja bersama-sama membangunkan negeri Johor dan membela rakyat.
Berhenti bertelagah, masa untuk rakyat. Itulah titah Tuanku memberi gambaran betapa besar harapan Baginda dan rakyat Johor supaya semua menghentikan pertelagahan dan sikap Wakil Rakyat yang terlalu berpolitik sehingga meminggirkan tugas utama iaitu membangunkan negeri dan membela rakyat. Kini, masa kita bersama-sama untuk membangunkan negeri Johor dan membela rakyat. Banyak perkara yang harus kita lakukan terutamanya memulihkan ekonomi kehidupan rakyat pasca pandemik COVID-19. Walaupun antara kita berlainan parti dan berbeza pendapat, sekarang adalah masa untuk kita kerja bersama demi negeri dan Bangsa Johor itu sendiri. Tahukah rakan-rakan bahawa rakyat bukan sahaja muak, malah menyampah dengan sikap segelintir ahli politik yang terus-terusan berebut kuasa. Rakyat masih dalam kesusahan, usahlah bebankan rakyat dengan kerenah politik yang memburukkan lagi keadaan. Justeru, dengan semangat persahabatan yang tinggi, saya mengajak rakan-rakan dari pembangkang, supaya melakukan gencatan politik dan memberikan sokongan kepada kerajaan Johor yang sedia ada untuk terus memimpin negeri ini bagi tempoh 5 tahun yang akan datang. Rakyat sudah memilih jadi kita adalah masa untuk membalas kepercayaan itu dengan memberi sumbangan bakti dan khidmat yang terbaik kepada rakyat yang kita wakili.
Yang Berhormat Datuk Speaker, membina Kota Iskandar yang bestari. Kota Iskandar terletak di dalam kawasan Gelang Patah. Mohon izin Datuk Speaker, dulu merupakan jin bertendang, satu kawasan jin bertendang orang kampung cakap, ketika itu dulu. Namun, seiring dengan pembangunan pesat yang dilaksanakan apatah lagi pusat pentadbiran kerajaan negeri yang ada ini, berpindah ke sini lebih sedekad yang lalu, Kota Iskandar kini sudah jauh berubah. Di sekelilingnya bukan lagi dipenuhi hutan belukar atau estet kelapa sawit, namun, ini dicorakkan dengan progres struktur moden sama ada kediaman atau pusat komersil, termasuk hotel-hotel ataupun padang-padang golf yang disebutkan oleh sahabat saya daripada Permas sebentar tadi. Justeru itu, untuk tahun mendatang saya ingin melihat, mengorak langkah bersama kerajaan untuk menjadikan Kota Iskandar ini sebagai kota lestari. Kota lestari yang kita impikan adalah kota yang mencukupi pelbagai aspek iaitu menekankan aspek kesejahteraan rakyat, ceria, bersih serta mampu memberi keselesaan kepada golongan rakyat. Ini juga bersesuaian dengan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Untuk menjadikan sebuah kota lestari, Kota Iskandar harus bangunkan berpandukan amalan yang terbaik. Kota Iskandar perlu menjadi tempat mampu memberi keselesaan serta pilihan kepada semua golongan. Justeru, aspek infrastrukturnya mesti diperkasakan. Saya yakin di bawah PBT yang bertanggungjawab di dalam Kota Iskandar ini, iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato’ Mohd Hafizz bin Ahmad boleh melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
Antaranya, kemudahan jalur lebar bagi memberikan capaian internet yang baik dan pantas seiring dengan kepesatan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Capaian jalur lebar di Kota Iskandar seharusnya yang terbaik apatah lagi Kota Iskandar ini merupakan pentadbiran kerajaan negeri. Malu, jika kita ada pihak memperlekehkan Kota Iskandar pusat pentadbiran negeri tetapi memiliki jaringan dan kemudahan ICT yang kurang baik. Malah, Kota Iskandar peranannya serupa Putrajaya iaitu pusat pentadbiran negara di ibu kota. Imej ini perlu kita jaga dengan baik. Namun, apa yang menyedihkan, capaian jalur lebar di Kota Iskandar ini seperti siput, lambat dan lemah. Ini tidak mencerminkan imej Kota Iskandar sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri. Keadaan ini perlu diperbaiki, amat memalukan jika situasi ini berterusan sedangkan moto Maju Johor yang dibawakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar yang baru. Segan kita nak mencanangkan sebagai negeri maju sedangkan infrastrukturnya yang disediakan di Kota Iskandar tidak menggambarkan yang sebenarnya.
Saya mohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan EXCO-EXCO yang bertanggungjawab dalam perkara ini segerakan melakukan usaha menambahbaik pencapaian internet di kawasan Kota Iskandar ini. Saya yakin bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyedari tentang perkara ini dan apatah lagi pusat kerajaan yang tersergam indah ini terletak di kawasan Kota Iskandar.
Saya juga berharap kerajaan negeri memberi perhatian terus menyediakan lebih banyak stesen cas bateri bagi kenderaan elektrik. Ini telah disuarakan oleh sahabat saya Permas sebentar tadi. Sebagai contoh, negara jiran kita Singapura kini giat memperkasakan penggunaan kenderaan elektrik, malah, menjelang tahun 2040, Singapura menyasarkan penggunaan sepenuh kenderaan elektrik seperti dalam belanjawannya 2020 negara berkenaan. Bayangkanlah apabila banyak kenderaan dari Singapura merupakan kenderaan elektrik masuk ke negara ini khususnya Johor, alangkah malangnya jika tidak banyak stesen cas untuk kegunaan kenderaan elektrik ini di kawasan kita ini. Keadaan ini bukan sahaja mencalar imej negara khususnya Johor, malah menjejaskan kedatangan pelancong dari negara berkenaan ke negara ini. Ini merupakan satu kerugian yang amat sangat dalam industri pelancongan negara kita pada masa yang akan datang. Saya mengharapkan PBT yang berada di kawasan ini atau yang berhampiran, bersedia dengan ledakan revolusi kenderaan yang akan berlaku secepat masa yang mungkin. Yang paling utama, kemudahan dan wujudkan banyak stesen cas serupa itu turut menggalakkan rakyat kita menggunakan kenderaan elektrik. Penggunaan kenderaan elektrik ini sudah pasti mengurangkan pengeluaran karbon dan lebih mesra alam sekitar. Kenderaan elektrik ini saya percaya dan yakin merupakan kenderaan di masa yang akan datang.
Kota Iskandar yang selamat. Sebagai pusat pentadbiran negeri selain perlu mempunyai infrastruktur yang baik, Kota Iskandar juga harus menekan pentingnya aspek keselamatan. Tadi, Yang Amat Berhormat telah menyatakan dari segi aspek-aspek penjagaan yang akan diusahakan oleh pihak kerajaan negeri khususnya border khasnya di Kota Iskandar merupakan jalan masuk pintu masuk kedua selepas Johor Bahru. Tugasan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak keselamatan harus sentiasa berada di tahap yang tertinggi. Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek ini. Tahap keselamatan harus ditingkatkan dan apa yang menyedihkan ada juga di kawasan di Kota Iskandar ini tidak segah namanya sebagai pusat pentadbiran negeri.
Kekuatan Kota Iskandar terletak pada namanya Iskandar berbeza dengan Perling. Apa tidaknya, pada waktu malam banyak kawasan yang masih tidak diterangi dengan cahaya lampu khususnya di kawasan Medini ini. Keadaan ini bukan sahaja boleh menimbulkan rasa tidak selamat, malah boleh mengundang kejadian jenayah seperti kecurian, samun, rompak, pecah rumah, rogol dan penculikan. Kita hendak menjadikan kawasan DUN Kota Iskandar ini kawasan bandar selamat. Kejadian jenayah ini seperti tidak baik bagi imej Kota Iskandar sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri. Saya mengharapkan aspek ini sekiranya diberi perhatian, tiada guna tiang elektrik yang cantik dan kukuh tetapi apabila malam tidak bercahaya. Hanya bercahaya waktu bulan mengambang. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kita mahu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung atau pelancong luar negara ke Kota Iskandar ini? Andai timbul perasaan tidak selamat, agar sukar untuk kita meningkatkan usaha-usaha kita memperkasakan sektor pelancongan di kawasan Kota Iskandar ini. Di manakah silapnya? Adakah pemaju-pemaju masih tidak menyerahkan tugas kepada PBT? Ini kita lihat dan kita kaji semula.
Aspek keceriaan juga harus diberi perhatian dengan memperbanyakkan lagi kawasan yang menarik supaya menjadi tumpuan warga Kota Iskandar untuk beriadah dan bersantai bersama-sama keluarga dan kenalan. Aspek kebersihan Kota Iskandar juga harus dipertingkatkan. Saya merakam setinggi tahniah dan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bukan sahaja dari segi keindahan dan menjadi banyak johan di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat internasional. Supaya benda ini diterjemahkan oleh
kerana PBT Majlis Bandaraya Iskandar Puteri hampir 90% di dalam kawasan DUN Kota Iskandar ini, cuma lebih kurang 5 hingga 10% sahaja berada di kawasan Perbandaran Kulai. Saya amat menyanjungi keperihatinan dan kesudian Yang Amat Berhormat Menteri Besar turun padang untuk meninjau dan melihat sendiri pelbagai lokasi di kawasan ini. Banyak kejayaan walau dalam keadaan singkat walaupun ada juga rasa kerisauan di kalangan jabatan-jabatan tertentu, ini menandakan bahawa keprihatinan kerajaan negeri khususnya Yang Amat Berhormat untuk melihat kesejahteraan rakyat dapat ditunaikan.
Saya ingin mempelawa Yang Berhormat Menteri Besar ataupun EXCO-EXCO yang terlibat di kawasan Kota Iskandar serta menambah baik keadaan yang masih berkurangan ini. Sistem jalan raya perlulah memenuhi kehendak semasa dan masa hadapan. Terdapat 2 kekesakan utama pengguna jalan raya perlu diberi perhatian dan tindakan segera kesesakan ini amat kritikal sehingga menjejaskan urusan mereka yang berulang alik bekerja dan menimbulkan tekanan perasaan dan stress dan sebagainya. 3 laluan, 2 laluan tersebut ialah di sepanjang jalan ulang-alik Skudai ke Pontian ia melibatkan persimpangan jalan Taman Sri Pulai, Taman Teratai dan Taman Pulai Jaya. Cadangan adalah dinaikkan taraf ke 3 lorong bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di sini. Terdapat satu lagi lokasi kesesakan yang amat sangat di kawasan Kota Iskandar ini, iaitu jalan Ulu Choh ke Gelang Patah, iaitu di persimpangan lampu isyarat jalan masuk dan keluar ke Lebuhraya Pontian Link dan persimpangan jalan Taman Nusantara cadangan ini dibuat pelebaran jalan bagi melancarkan lalu lintas. Jadi oleh kerana 2 PBT yang terlibat termasuk JKR mesti mengorak langkah mudah-mudahan kesesakan yang berlaku di kawasan Kota Iskandar yang saya sebut tadi dapat diselesaikan. Ini merupakan isu yang amat besar di mana-mana sahaja masalah kesesakan lalu lintas menjadi pokok utama bila waktu pagi dan petang, waktu-waktu puncak orang bekerja.
Dalam aspek pendidikan, aspek pendidikan merupakan satu perkara yang amat penting dan sentiasa kita beri keutamaan. Bagi saya, aspek pendidikan merupakan salah satu landasan bagi masyarakat untuk melonjakkan taraf kehidupan mereka dalam zaman dan era digital pada masa kini akses terhadap pendidikan yang baik wajib diberikan kepada semua rakyat khususnya anak-anak kita. Bagi konteks Kota Iskandar, rakyatnya terdiri daripada semua kaum, bukan sahaja kaum Melayu, India, Cina juga termasuk kaum Orang Asli. Justeru, akses terhadap pendidikan yang baik amat penting dalam usaha meningkatkan tahap kehidupan Orang Asli supaya seiring dengan bergerak sederap dengan kaum lain dalam bidang pendidikan ilmu dan kemahiran. Saya mengharapkan jabatan yang bertanggungjawab
Kota Iskandar sila gulung.
Datuk speaker suka makan capati, Datuk Speaker memang baik hati. Saya berharap oleh kerana jadi Abang Long kawasan ini berada di dalam Kota Iskandar berilah peluang selepas 18 tahun menunggu.
Tak boleh, sebab tak ajak makan.
Terima kasih Datuk Speaker. Bagi mengurangkan jurang pendidikan antara kaum. Capaian Internet jalur lebar harus diberikan kepada semua sekolah. Kemudahan ini harus diberikan tumpuan contohnya di kampung-kampung tradisional yang berhampiran dengan Kota Iskandar ini. Saya memberi contoh Kampung Sungai Melayu, Kampung Pendas Baru Tanjung Kupang serta sampai ke Kampung Orang Asli Simpang Arang. Jalur lebar penggunaan internetnya amat mendukacitakan.
Namun begitu, pencapaian anak kita dalam pelajaran masih boleh dibanggakan. Saya yakin jika perkara ini dapat dipertingkatkan, anak-anak kita akan lebih cemerlang dalam
peperiksaan awam yang diduduki oleh mereka. Justeru, saya menyeru kerajaan negeri dan syarikat telekomunikasi supaya dapat meningkatkan capaian dan liputan internet di Kota Iskandar serta kawasan-kawasan yang sekitarnya. Malah, capaian internet dan jalur lebar ini amat perlu diperkasakan memandangkan banyak universiti-universiti antarabangsa dan tempatan yang mempunyai kampus di kawasan ini, imej harus dijaga. Universiti ini menubuhkan kampus ini kerana mereka yakin kita mempunyai dan mampu menyediakan kemudahan yang diperlukan. Malu jika kita, negara kita, negeri kita yang kita canang beserta maju tidak dapat menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang terbaik untuk rakyat dan warganya. Kita kena jaga imej negeri dan negara kita. Seperkara lagi yang ingin saya menyarankan, agar sebuah institut tingkatan 6 dapat dibina dalam daerah Johor Bahru dan saya mencadangkan agar ia dapat dibina di dalam kawasan Kota Iskandar yang mempunyai persekitaran pembangunan pendidikan yang tinggi seperti Malborough College, Newscasttle University, Reading University dan sebagainya. Saya yakin dengan persekitaran sedemikian akan dapat mempertingkat lagi kualiti pendidikan para
Kota Iskandar sila gulung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sedikit saja Datuk Speaker yang saya ingin nyatakan di sini. Ungkapan dari segi perumahan, tadi rakan-rakan menyatakan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerisauan tentang kekurangan rumah mampu milik atau sewa beli di kawasan Kota Iskandar untuk dilihat dari segi pembangunan yang ada, Kota Iskandar begitu pesat, penuh dengan pemaju-pemaju yang dibawa pada ketika itu. Tapi akhirnya seperti dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hampir 153,000 rumah-rumah mampu milik ataupun rumah yang tak dapat didirikan. Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya kaji selidik yang terperinci tanpa kompromi. Mana-mana pemaju yang tak mampu buat, kita kena diambil tindakan yang tegas.
Akhirnya Datuk Pengerusi, oleh kerana saya berasal dari Sungai Melayu begitu hampir dengan Kota Iskandar, isu kebersihan terutama sungai harus diberi perhatian. Jangan kita korbankan sungai-sungai kita yang membekal air bersih dicemari. Tindakan mencemar sungai ibarat meracuni diri sendiri kerana ia merupakan sumber air kita. Untuk merawat sungai dan sumber air yang tercemar kosnya terlalu tinggi diperlukan. Ini merugikan wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan aspek yang lain. Justeru, aspek pembangunan haruslah dilihat secara lestari dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Sekiranya ada pemaju atau industri yang dikesan mencemari air termasuk sungai dikenakan tindakan tegas, tiada kompromi dalam perkara ini. Kekerasan dan hukuman berat berupaya menimbulkan gerun, pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mencemari sungai dan sentiasa menjaga kebersihan kita. Oleh kerana saya terpaksa menurut perintah Datuk Speaker walaupun Datuk Speaker sahabat saya, demi menjaga imej dan integriti sepatutnya saya ada satu paper lagi untuk memperkasakan sektor perlancongan saya redha dan saya akan bertanggungjawab di atas kegagalan saya untuk meneruskan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri ucapan saya, Kota Iskandar menjunjung setinggi kasih terhadap titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Semoga Tuanku dan kaum kerabat sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Kepada Allah Kita Berserah, Allah berkati Johor. Makan durian, dalam taman jangan sampai tercucuk duri, terima kasih Datuk Speaker yang budiman, Kota Iskandar mohon diri. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi ta’ala hiwabarakatuh. Kota Iskandar mohon menyokong. (Dewan bertepuk.)
Itu perbahasan yang disediakan selama 18 tahun. Terima kasih Kota Iskandar. Jemput Yang Berhormat Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang untuk membahaskan rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Patik ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan yang mulia ini. Patik juga mengucapkan tahniah ke atas Tunku Mahkota Johor dilantik sebagai Pemangku Raja Johor.
Ucapan saya termasuk soalan mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020, Cadangan Pembangunan Infrastruktur, Link Johor, Kelestarian Alam Semula Jadi. Datuk Speaker, Laporan Ketua Audit Negara, syarikat berkaitan kerajaan GLC harus mengambil bahagian dalam usaha pemulihan ekonomi terutamanya dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti. Pelantikan politik ke dalam GLC boleh diterima tetapi, ianya bukan lantikan ahli politik ke dalam GLC. Orang yang dilantik mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap industri yang diceburi oleh GLC itu. Mengikut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, sebanyak 19 anak syarikat GLC berada dalam kedudukan kewangan negatif dengan defisit terkumpul sebesar RM1.246 bilion hampir setaraf dengan nilai Bajet Negeri Johor pada tahun 2018. Mengikut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 yang baru kita terima. Kita tengok muka surat 77, sebanyak 22 syarikat subsidiary Perbadanan Johor mempunyai kerugian terkumpul sebesar RM1.931 bilion. Antaranya Johor Capital Holding RM522.45 juta.
Mengkibol sekali lagi menyaran Dewan Negeri Johor supaya menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Audit GLC untuk menilai prestasi pengurusan dan mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kerugian yang begitu besar dan seterusnya mencari jalan penyelesaiannya. Mengikut Penyata Kewangan Negeri Johor 2020, jumlah pinjaman kerajaan negeri Johor kepada SAJ masih mempunyai sebanyak RM1.2 juta. Demi menyelesaikan tunggakan pinjaman ini dan membantu rakyat dan perniagaan yang mengalami kesulitan ekonomi akibat wabak COVID-19, pinjaman yang besar ini yang juga sudah lama belum dibayar, boleh dipertimbangkan untuk ditukar bentuk menjadi bekalan air percuma kepada rakyat Johor tetapi terhad kepada kadar bayaran minium iaitu RM7.00 sebulan untuk pengguna kediaman dan RM30.00 untuk komersial. Mengutamakan projek berimpak besar.
Datuk Speaker, Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor juga bertitah mengenai keperluan lebuhraya baharu kerana ia akan memberi limpahan ekonomi. Spill over effect. Mengkibol sebelum ini pernah beberapa kali memberi cadangan pembangunan infrastruktur link Johor di Dewan Negeri dan juga melalui Draf Rancangan Tempatan Daerah RTD Kluang 2030. Mengenai 3 lebuhraya baharu, iaitu pertama membina lebuhraya baharu Johor tengah yang menghubungi Batu Pahat, Air Hitam dan Kluang. Dengan jaraknya 40 kilometer. Dengan ini perjalanan dari Kluang ke Batu Pahat dapat dipendekkan kepada 30 minit dan satu lingkungan kehidupan, limit circle dalam jarak 30 minit radius bagi kedua-dua bandar utama ini dengan populasinya melebihi 1 juta dapat diwujudkan. Dan seterusnya aktiviti ekonomi antara Batu Pahat dan Kluang dapat meningkat secara significant dan juga ia dapat mengasingkan trafik terus atau through traffic daripada trafik setempat, local traffic demi keselamatan pengguna jalan raya.
Kedua, membina seksyen jalan sambungan 20 kilometer dari Layang-Layang ke Kulai menyambung ke Senai Airport, menyambung ke Malaysia – Singapore Second Link.
Ketiga, membina seksyen jalan sambungan 15 kilometer dari Bandar Tenggara terus ke Senai – Desaru Expressway supaya dapat menyambung ke Ulu Tiram, Johor Jaya dan Pelabuhan Pasir Gudang. Kedua-dua jalan sambungan ini dapat dijadikan jalan alternatif yang selari dengan Lebuh raya Utara – Selatan yang sering berlaku kesesakan pada musim
perayaan dan percutian. Cadangan jaringan pengangkutan ini selaras dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan holistik dan dapat memberi kesan limpahan ekonomi, spill over effect yang tinggi kepada perkembangan ekonomi Johor secara keseluruhan.
Dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-4, (RFN4) Batu Pahat, Kluang telah dirancang sebagai satu zon promosi pembangunan. Batu Pahat, Kluang zon promosi pembangunan. Oleh demikian, jaringan ataupun rangkaian pengangkutan bahagian Johor tengah harus diberikan tumpuan dan naik taraf demi menampung keperluan pertumbuhan ekonomi pada masa depan. Projek jalan sambungan ini adalah berasaskan jalan raya yang sedia ada, bukan jalan yang baharu, di mana hanya sebahagian jalan sambungan baharu perlu dibina. Maka dengan kos pembangunan infrastruktur yang lebih rendah, ia membawa impak yang jauh lebih besar. Projek berimpak besar dan tinggi perlu diutamakan dan para ADUN haruslah dilibatkan dalam perbincangan untuk merancangkan pembangunan setempat kerana kami yang berinteraksi terus dengan rakyat, paling mengetahui keinginan dan keperluan rakyat. Contoh, projek lintasan vehicle box covered (VBC) jalan Mengkibol mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan bandar Kluang. Ia memberi impak yang sangat tinggi kepada lebih 2,000 keluarga sekitar dan juga pengguna jalan raya. Warga Kluang amat berharap agar jalan taman yang menyambung VBC adalah terowong ini dapat disempurnakan secepat mungkin. Terowong VBC ini sebenarnya telah pun disiapkan oleh YTL secara CSR pada tahun 2020. Ia memerlukan kira, memerlukan kos kira-kira RM1.5 juta sahaja. Mengkibol juga ingin menjemput EXCO Kerajaan Tempatan untuk melawat tapak seperti yang telah dilakukan oleh bekas YB EXCO, YB Ayub pada Januari tahun 2021 dan beliau menyokong cadangan ini. Ini satu gambar terowong yang sudah siap dibina oleh YTL pada dua tahun yang lepas. Sebaliknya Exreme Park Kluang, merupakan satu impak, satu projek yang kurang impak dan telah memakan belanja ratusan ribu ringgit dan sekarang dikatakan akan dibina semula dengan 1.5 juta. Mengkibol memohon agar peruntukan Extreme Park ini dapat dipindahkan kepada projek penyambungan VBC Jalan Mengkibol yang akan membawa impak yang jauh lebih besar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kelestarian alam semula jadi. Gunung Lambak merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Renggam Ibarat tulang belakang kepada kesinambungan dan keseimbangan alam sekitar dan kehidupan. Kawasan Gunung Lambak kini telah diteroka dan menimbulkan kebimbangan antara warga Kluang. Walaupun kawasan yang diteroka merupakan tanah persendirian, akan tetapi ketinggiannya, ketinggian kawasan tersebut mencecah kira-kira 260 meter dari paras, dari paras dari aras laut dan lokasinya bersempadan dengan Hutan Simpan Renggam Ia dikuatiri akan membawa kesan terhadap Gunung Lambak dan ekosistem kawasan tersebut. Mengkibol mencadangkan agar zon penampan atau pun buffer zone di bawah RFN, Rancangan Fizikal Negara, satu zon penampan diwujudkan bagi memisahkan hutan simpan dan tanah persendirian, dikuatkuasakan dan diwajibkan di seluruh negeri Johor, yakni boleh menjadi satu teladan kepada seluruh Malaysia. Zon penampan. Ia menimbulkan persoalan. Mengkibol juga berharap Jabatan Perhutanan dapat memberikan maklumat berapakah, berapa banyak bidang tanah milik persendirian di sekitar Gunung Lambak yang berada di kawasan yang berisiko terhadap alam sekitar? Mengkibol juga berharap Jabatan Perhutanan dapat memberikan jumlah keluasan hutan simpan di Johor. Perbandingannya dengan keluasan 10 tahun yang lalu.
Tindakan penerokaan hutan menyebabkan haiwan kehilangan habitat dan sumber makanan. Isu gajah liar yang memasuki kawasan kediaman manusia semakin kerap berlaku. Baru-baru ini beberapa gajah liar telah memasuki kawasan perumahan di Mengkibol untuk mencari makan. Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) disarankan menggunakan dana Malaysian Palm Oil Green Conservation Fund (MPOGCF) untuk menanam rumput gajah, napier ataupun pennisetum purpureum Usaha membina pagar elektrik sudah dibuktikan kurang berkesan dan permasalahan,
permasalahan utama sebenarnya adalah masalah makan, sumber makanan gajah. Mengkibol ingin mencadangkan satu koridor gajah, atau pun laluan untuk gajah liar diwujudkan dengan menanam rumput gajah oleh KPPK dan Jabatan Pertanian untuk mengelakkan gajah masuk ke kawasan perladangan dan merosakkan tanaman. Namun begitu, yang paling utama ialah kerajaan negeri dapat mengetatkan lagi aktiviti penebangan hutan agar habitat semula jadi haiwan dapat dipelihara.
Perubahan iklim telah menyebabkan cuaca melampau, extreme weather. Hujan lebat di kawasan tadahan hujan yang dimusnahkan, ditambah pula dengan kelemahan sistem perparitan. Ini merupakan kombinasi, kombinasi sistem, ia merupakan kombinasi yang boleh menyebabkan bencana. Kalau kita tengok Memorandum Laporan Ketua Audit Negara, JPS muka surat 10, pada tahun 2020 JPS mencatatkan perbelanjaan terendah berjumlah RM26.83 juta. Mengkibol berpandangan ini harus dipertingkatkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, titah Tuanku hentikan berpolitik, tunaikan janji. Mengkibol amat bersetuju dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor agar memberi fokus kepada menunaikan janji kepada bangsa Johor. Oleh itu semua tindakan perlulah mengutamakan kebajikan dan perkhidmatan kepada rakyat. Pihak ADUN merupakan wakil yang dipilih di peringkat tempatan dan merupakan frontliner yang lebih mengetahui keperluan rakyat. ADUN bukan sahaja berkhidmat kepada pengundinya, tetapi kepada semua rakyat yang berada di kawasannya. ADUN pembangkang bukanlah sekadar membangkang tapi memberi cadangan yang konstruktif dan sebagai semak dan imbang. Sebagai contoh, dalam inisiatif Bantuan Beras Bangsa Johor, Mengkibol telah menerima banyak pertanyaan. Walaupun beberapa kali Mengkibol meminta maklumat jadual pengagihan beras, daripada pihak Pegawai Daerah dan juga Mengkibol pergi ke Pejabat Daerah sebagai ADUN bukan kerajaan, Mengkibol tidak dapat memperolehi maklumat supaya dikongsikan dengan rakyat. Dan malangnya Mengkibol dikritik oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab bahawa Mengkibol sebenarnya tidak pernah menanya pun. ADUN-ADUN pembangkang perlulah diiktiraf dan perlu diberikan informasi yang berkaitan inisiatif kebajikan rakyat dan projek pembangunan awam.
Pada bulan April 2022, di bawah Bantuan Kasih Bangsa Johor, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan bahawa pengecualian lesen penjaja dan IKS untuk tahun ini. Namun begitu, saya dimaklumkan di Kluang hanya penjaja dan tidak termasuk IKS. Ini Bantuan Kasih Bangsa Johor. Jelasnya peniaga, penjaja dan IKS. Mohon EXCO Kerajaan Tempatan memberi sedikit ulasan semasa gulung. Yang Berhormat Datuk Speaker, ketua-ketua jabatan, pegawai JCS dan ADUN perlu memberi hubungan komunikasi yang baik dan kepercayaan. Untuk membolehkan isu-isu rakyat dibincangkan dan diselesaikan. Titah Tuanku agar tidak berpolitik perlu dijadikan pegangan kepada semua demi perkhidmatan yang terbaik. Oleh itu saya berharap kerajaan negeri memberi jaminan dan arahan supaya tiada tindakan atau pun surat tunjuk sebab diminta daripada ketua-ketua jabatan ataupun pegawai yang bertindak secara profesional tanpa memikirkan politik.
Tadbir urus lebih baik. Tadbir urus yang cekap dan berintegriti merupakan teras kepada segala bentuk pengurusan. Di peringkat akar umbi, permasalahan rakyat banyak berhubung kait dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan selalu diadukan kepada Pusat Khidmat Rakyat. Terdapat sesetengah pegawai merasakan ADUN kurang bertanggungjawab kerana hanya berpihak kepada pengadu. Ini tidak benar. ADUN tidak memihak kepada pengadu, tetapi kita akan membuat siasatan dan pertimbangan untuk memastikan kesahihan aduan itu. ADUN seringkali dipersalahkan sekiranya.
Mengkibol, berhenti sekejap, azan.
(Dewan berhenti sebentar bagi memberi laluan laungan azan)
Teruskan, dua minit.
Terima kasih. Bukan reset kepada 1 minit? ADUN seringkali dipersalahkan sekiranya jabatan gagal memberikan perkhidmatan. Akhirnya para ADUN tersepit, sebenarnya kita tersepit di tengah-tengah. Izinkan saya petikkan satu sajak Cina, sekiranya Wakil Rakyat tidak pelihara rakyat, lebih baik balik kampung menanam ubi merah. Oleh itu titah Tuanku mengurangkan birokrasi red tape adalah sangat tepat. Prosedur perkhidmatan perlulah diringkaskan agar tidak mengelirukan rakyat. Piagam Pelanggan perlulah dipatuhi. Terdapat juga aduan yang bertahun-tahun tidak diselesaikan. Ini satu aduan yang saya terima, tahun 2020, tetapi belum diselesaikan. Dipersalahkan ialah ADUN. Satu kaedah untuk memberikan penarafan ataupun KPI jabatan ataupun agensi perlu diwujudkan bagi menilai tahap prestasi perkhidmatan. Gred A, B, C, D diberikan kepada jabatan mengikut kadar kecekapan. Ok, saya ringkaskan.
Datuk Speaker, Dewan akan meluluskan rundingan penubuhan beberapa jawatankuasa. Kerajaan negeri Johor disarankan untuk mencontohi kerajaan negeri Selangor dan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menamakan ADUN Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi untuk mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang, PAC. Pada tahun 2015, sebenarnya Dewan Negeri Selangor meluluskan peraturan yang menetapkan bahawa Ketua Pembangkang secara automatik menjadi ketua PAC. Mengkibol juga berharap agar Dewan Negeri Johor menambah lebih banyak jawatankuasa untuk menambah baik fungsi Dewan Negeri, akauntabiliti dan memantau sistem pengurusan eksekutif. Dewan Persidangan mulia ini sebenarnya pada September tahun 2019 telah menganjurkan Bengkel Memperkasakan Dewan agar beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas boleh ditubuhkan. Usaha ini boleh meningkatkan keberkesanan Dewan Perundangan maka ia harus dilaksanakan secepat mungkin.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Mengkibol menyambut baik cadangan Menteri Besar untuk mempertimbangkan perubahan cuti hujung minggu ditukarkan kepada hari Sabtu dan Ahad. Sebenarnya pada tahun 2018 Ogos, dalam ucapan saya di Dewan saya pun memberikan cadangan yang sama…
Sila gulung.
Ok. Sekian terima kasih Datuk Tuan Speaker kerana memberi peluang, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Jemput Yang Berhormat Endau.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabaraklatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pertamanya, Endau ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi ucapan pada kali ini. Mengambil kesempatan ini, Endau ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Speaker yang telah dipilih menjadi Speaker di Dewan yang mulia ini bagi penggal pada kali ini. Endau yakin dan percaya bahawa Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker mampu mempengerusikan sidang kita ini dengan sebaiknya dan berjalan lancar hingga ke akhirnya.
Endau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Dipertuan Agong Ke-16 pada 6
Jun 2022. Lebih dahulu Endau ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas perkenan Baginda mencemar Duli merasmikan Persidangan ini dan Endau menjunjung titah kepada tiap pandangan dan teguran oleh Tuanku. Patik amat menjunjung titah Tuanku perihal kerajaan negeri perlulah bergerak tanpa kepentingan politik dan ianya juga termasuk pelantikan ketua kampung dan juga Ahli Majlis PBT. Semoga titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dijunjung oleh kerajaan negeri.
Sesungguhnya sikap keprihatinan Tuanku amatlah patik sanjungi dan semoga Allah SWT sentiasa limpahkan segala kurniaan kepada Tuanku dan peliharakan Tuanku untuk terus bertakhta di negeri Johor yang tercinta ini. Ampun Tuanku.
Di kesempatan ini walau sudah ambil 3 bulan tidak terlambat untuk Endau merakamkan sekalung tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dipilih dan dilantik untuk memimpin negeri ini. Sukacitalah dalam memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dan jalankanlah dengan adil dan saksama demi kesejahtarannya rakyat. Bagi Endau dan sahabat di barisan sebelah sini, kami akan sentiasa menjadi kumpulan semak imbang bagi pihak kerajaan kerana sudah pasti hasrat kita semua sebagai seorang Wakil Rakyat adalah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di samping memakmurkan negeri yang bertuah ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pilihan raya negeri telah selesai, maka ini adalah masa untuk kita semua bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Maka ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada kali ini bagi menyampaikan suara hati masyarakat Endau.
Pertama adalah isu perumahan dan keperluan. Setiap kali Persidangan Dewan di penggal yang lepas, Endau sentiasa membangkitkan isu keperluan rumah bagi penduduk di kawasan Endau. Namun, Endau dapati kurangnya perancangan dan tindakan konkrit dari kepimpinan kerajaan negeri. Jawapan yang sering kali diterima oleh Endau daripada kerajaan negeri pada ketika itu adalah tiada keperluan, tiada keperluan, tiada keperluan. Isu perumahan seharusnya dipandang serius kerana ianya keperluan asas setiap Bangsa Johor di negeri ini. Kita lihat betapa prihatinnya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor apabila mengaspirasikan dan menyediakan Rumah Impian Bangsa Johor. Lihat betapa meriahnya sambutan daripada rakyat di Endau, apabila ada 30 kekosongan di Rumah Taman Dato’ Ajib yang diuruskan oleh pihak kerajaan, apabila melebihi 100 orang memohon untuk mengisi kekosongan tersebut.
Untuk itu, saya nak secara peribadi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan yang telah menyegerakan pengisian kekosongan rumah tersebut. Terima kasih Yang Berhormat. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan seluruh kepimpinan EXCO yang baharu semuanya orang muda, tentunya lebih faham apa kehendak orang muda. Jadi untuk masalah perumahan di Endau ini, maka sukacitanya ingin Endau mencadangkan di Dewan yang mulia ini agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dijemput untuk membuat lawatan ke kawasan Endau iaitu di Kampung Sri Lumpur yang merupakan kampung rangkaian Kampung Bahagia. Untuk makluman Yang Amat Berhormat, kawasan kampung ini merupakan penempatan di atas tanah persendirian yang dibina semenjak dahulu lagi. Rata-rata mereka yang mendiami kawasan ini merupakan penerima bantuan sara hidup kerajaan, disebabkan penempatan ini dibuat di atas usaha mereka sendiri maka keadaanya adalah tidak terurus dengan sempurna, dengan erti kata lain seperti setinggan jika kita lihat.
Untuk makluman Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor, kebimbangan Endau selama ini akan menjadi kenyataan apabila baru-baru ini pemilik tanah bagi kawasan tersebut telah mengeluarkan notis mengosongkan rumah dan tanah kepada 30 keluarga yang telah membina rumah di atas tanah tersebut.
Jadi, sejak seminggu lepas Endau sentiasa menerima panggilan, teks pesanan ringkas malah kunjungan di Pejabat ADUN Endau sendiri daripada mereka yang terlibat. Berkaitan dengan masalah ini dan mereka di manakah mereka akan tinggal? Jika mereka perlu keluar daripada tanah tersebut, bukan sedikit Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, 30 buah rumah, keluarga, lebih 30 keluarga yang terlibat dan yang pastinya semuanya Bangsa Johor. Kita nak biarkan, kita tak nak bantu, mungkin ada yang fikir ini kawasan pembangkang, tak perlu bantu. Tapi kalau inilah pemikirannya, maka Endau tak cakap siapa-siapa dan tak tuju siapa-siapa tetapi anda memang politikus yang mementingkan diri tanpa memikirkan soal orang lain.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Endau bimbang sekiranya lebih ramai pemilik-pemilik tanah membuat keputusan yang sama di kawasan tersebut, maka akan lebih ramai mereka yang akan hilang tempat berteduh. Dari soal undang-undang, ya, tuan tanah ada hak untuk berbuat apa-apa sahaja. Tapi takkanlah kita nak lihat 30 keluarga ini ceroboh tanah kerajaan pula? Jadi, satu jalan keluar yang ingin Endau cadangkan di sini adalah dengan cara kerajaan negeri memberikan lot tanah berkeluasan 1,200 persegi, kaki persegi kepada mereka yang terpilih dari kawasan ini. Tanah-tanah yang digazetkan di penempatan SPKR boleh dipecah lot untuk dikurniakan kepada mereka. Endau percaya mereka yang dikurniakan lot tanah ini boleh membina rumah melalui dana yang disediakan oleh kerajaan seperti pihak SPNB. Semoga cadangan Endau ini boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan ini.
Yang kedua adalah mengenai serangan gajah dan kerisauan petani. Endau juga ingin membangkitkan kebimbangan penduduk di kawasan Endau iaitu gangguan gajah terhadap kebun-kebun milik mereka. Sehingga kini gangguan gajah masih berlaku dan semakin ramai pemilik kebun yang mengadu dengan Endau tentang masalah yang masih berlarutan ini, yang mana habis tanaman mereka telah dirosakkan. Endau percaya bukanlah mudah untuk pihak jabatan yang bertanggungjawab mengatasi masalah ini disebabkan kekangan-kekangan tertentu terutamanya berkaitan kos. Namun ianya tidak boleh dijadikan alasan kerana pemilik-pemilik kebun terpaksa menanggung semakin banyak kerugian akibat ancaman gajah itu.
Adakah sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mengenakan syarat yang lebih ketat kepada aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan pertanian secara besar-besaran? Kita perlu melihat keseimbangan alam semula jadi di antara hidupan gajah dengan kawasan rayau yang diperlukan oleh mereka. Adakah pihak jabatan yang terlibat telah membuat kajian terperinci berkaitan jumlah populasi gajah yang sedia ada dan melihat keperluan kawasan rayau yang bersesuaian? Sekiranya tidak seimbang, apakah perancangan awal dan jangka masa panjang bagi mengatasi permasalahan ini? Endau amat bimbang sekiranya pemilik kebun hilang pertimbangan dengan mengambil tindakan di luar undang-undang bagi melindungi kebun-kebun mereka. Jadi sekali lagi Endau berharap isu berkaitan gajah ini dapat diselesaikan sebaiknya oleh pihak kerajaan dan jabatan yang berkaitan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ketiganya adalah berkaitan pembinaan sekolah menengah kedua di kawasan Endau. Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan sidang Dewan sekalian, isu ini telah dibawa oleh Endau sejak penggal persidangan yang lalu, jadi Endau bangkitkan semula isu ini pada penggal ini di hadapan kepimpinan negeri yang baharu. Buat masa ini hanya terdapat sebuah sekolah menengah sahaja di pekan Endau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin. Keperluan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah adalah kerana infrastuktur yang terdapat di SMK Ungku Husin sudah mencapai kapasiti maksimum. Untuk menampung pertambahan jumlah murid setiap tahun dan pembinaan bangunan baharu sekolah tidak dapat dibuat kerana kawasan tersebut, sekolah tersebut yang padat dan terhad.
Untuk makluman YB Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan, cadangan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah ini bukan satu isu baharu kerana cadangan ini telah lama diutarakan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan keperluan pembinaan sebuah lagi sekolah menengah di kawasan pekan Endau. Di sekitar pekan Endau terdapat 6 sekolah kebangsaan, sebuah sekolah kebangsaan pedalaman iaitu Kampung Orang Asli Labung dan buah sekolah jenis kebangsaan Cina, kesemua murid sekolah-sekolah ini akan bersekolah di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Husin. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan juga, murid-murid yang tinggal di Kampung Penyabung juga terpaksa bersekolah di SMK Ungku Husin yang mempunyai jarak sejauh 15 kilometer. Keadaan menjadi rumit apabila musim hujan kerana tidak semua murid di kawasan Endau ini mempunyai kemudahan kereta dan mampu untuk menyewa bas sekolah. Ketiadaan asrama juga menyebabkan murid-murid yang tinggal jauh terpaksa berulang alik setiap hari untuk ke sekolah.
Cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu ini dicadangkan untuk dibina di kawasan Mukim Penyabung bagi memudahkan murid-murid yang tinggal di kawasan mukim ini dan mukim-mukim berdekatan. Oleh itu, Endau secara serius memohon agar pihak kerajaan negeri Johor membangkitkan semula perkara ini kepada pihak kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diberikan pertimbangan yang serius dalam menyelesaikan masalah ini agar kebajikan rakyat terus terbela.
Yang keempat, perkhidmatan bas untuk kemudahan rakyat. Terlebih dahulu, Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang DiPertua Majlis Daerah Mersing kerana Endau dimaklumkan bahawa tender pembinaan Terminal Bas Endau telah diiklan tempoh hari. Semoga pembinaan terminal bas ini berjalan dengan baik dan lancar serta siap mengikut tempoh masanya. Cuma sepanjang proses pembinaan ini, Endau berharap agar pihak Majlis Daerah Mersing dan pihak Pengangkutan Awam Johor sudah memulakan perbincangan dengan pihak syarikat bas untuk memulakan perkhidmatan bas mereka di kawasan pekan Endau. Jangan nanti bila terminal bas dah siap, satu biji bas pun tak singgah dan tak menyediakan infrastruktur perkhidmatan di situ. Maka Endau sentiasa menyokong segala usaha yang dibuat oleh pihak Majlis Daerah Mersing dalam membangunkan infrastruktur dalam kawasan Endau demi keselesaan rakyat.
Akhir sekali berkaitan isu semasa di kawasan Endau Yang Berhormat Timbalan Speaker. Hari ini Datuk Timbalan Speaker, Endau akan sentuh ringkas sahaja. Pertama, Endau ingin menarik perhatian kepimpinan kerajaan negeri agar terus mempertahankan tanggungjawab yang selama ini dilaksanakan oleh kepimpinan yang lepas iaitu berkenaan peruntukan tambang haji percuma kepada penjawat awam dan mereka yang telah berjasa kepada negeri ini. Pada pandangan Endau, peruntukan kewangan yang dibelanjakan bagi tujuan ini tidaklah terlalu besar hingga membebankan kewangan negeri. Sehubungan itu, sewajarnya tradisi memberi tambang haji percuma ini harus diteruskan sebagaimana sebelum ini. Ini sebagai membalas budi di atas segala bakti yang dicurahkan selama ini agar mereka yang terpilih dapat menunaikan Rukun Islam yang kelima. Berkaitan Pejabat Tabung Haji Mersing, Endau dimaklumkan bahawa bermula Julai ini pengoperasian Pejabat Tabung Haji hanya dua hari seminggu di Mersing. Endau khuatir lama-lama nanti Tabung Haji Mersing ditutup dan ditamatkan perkhidmatan mereka di Mersing. Jadi Endau mohon Yang Berhormat EXCO yang berkaitan tengok tengokkanlah hal ini dan pastikanlah Pejabat Tabung Haji Mersing terus beroperasi dan janganlah ditutup.
Kedua, apabila berkaitan dengan perhubungan jalan raya, kalau boleh kerajaan negeri tolong sediakan sejumlah peruntukan untuk menurap semula Jalan Mersing-Endau dan Jalan Mersing-Kota Tinggi yang mana sekarang kondisinya yang tidak selesa dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Endau rasa, berkaitan jalan ini pun YB Tenggaroh akan bersetuju. Hal ini juga disentuh oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku ketika titah ucapan perasmian Baginda tempoh hari.
Ketiga, berkaitan tukun tiruan. Mohon jasa baik kerajaan negeri agar dapat sediakan sejumlah peruntukan untuk jabatan berkaitan dapat membina lebih banyak tukun tiruan untuk bantu nelayan-nelayan kecil mencari rezeki. Sedia maklum, kadang kala bot pukat tunda akan ambil semua ikan kecil dan besar dan lebih sedih, kadang-kadang karang pun rosak. Endau maklum bahawa agensi berkaitan sering pantau dan melakukan tindakan undang-undang kepada bot-bot pukat tunda yang salah tapi untuk bantu nelayan kecil ini, Endau harap cadangan pembinaan tukun tiruan yang banyak dapat dilaksanakan.
Keempat, berkaitan bayaran RM300.00 yang dikenakan oleh pihak kerajaan melalui Majlis Daerah Mersing pada pengusaha bot Island Hoping. Bayaran RM300.00 per trip ini amat tinggi kepada pihak pengusaha. Kalau boleh pihak PBT ini, ianya dapat dikaji semula. Keperluan bayaran ini kerana ramai pengusaha mengeluh dan tidak berpuas hati bila dikenakan bayaran tinggi ini, maka mereka terpaksa naikkan harga perkhidmatan mereka, pelanggan pula akan bising dan tidak berpuas hati dan ada yang batalkan tempahan perkhidmatan di saat akhir.
Kita kata Mersing daerah pelancongan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun pernah jadi EXCO Pelancongan, kini YB Tenggaroh pula menjadi EXCO Pelancongan. Pulau dalam kawasan Tenggaroh, kita nak naikkan sektor pelancongan di Mersing jadi tolong-tolonglah tengokkan isu ini Yang Berhormat.
Terakhir, berkaitan masalah orang mental dan gelandangan. Sejak akhir-akhir ini Endau sering dimaklumkan masalah orang mental dan gelandangan di daerah Mersing. Endau nak ucapkan terima kasih kepada pihak JKM Mersing yang sentiasa bertindak atas aduan orang awam berkaitan hal ini. Mereka berkelakuan tidak baik. Endau mohon perkara ini diambil berat.
Endau juga berharap, mereka dapat ditempatkan yang dirasakan perlu. Kita risau masyarakat bertindak agresif kepada mereka. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai pengakhiran perbahasan Endau, Endau menginsafi bahawa sebagai seorang Wakil Rakyat, kita bertanggungjawab dan diamanahkan untuk berkhidmat kepada kawasan kita. Sebagai Bangsa Johor, orang Johor, jiwa Johor marilah kita bersama memberikan fokus sepenuhnya kepada membangun dan mengukuhkan semula ekonomi negeri ini. Semoga Allah memberikan ihsanNya buat kita semua dan memberi kekuatan untuk terus berkhidmat kepada Bangsa Johor. Allah berfirman dalam surah Al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud “Dan bertolong-tolonglah kamu pada jalan kebaikan dan ketakwaan dan jangan engkau bertolong-tolong pada jalan yang membawa kepada dosa dan permusuhan”.
Sekali lagi terima kasih kerana beri Endau peluang pada kali ini dan semoga segala apa jua yang Endau utarakan pada hari ini dapat diberikan perhatian oleh pihak yang Endau nyatakan pada setiap permasalahan diutarakan. Endau menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kepada Allah jualah Endau berserah, Allah peliharakan Sultan. Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Endau. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok Selasa, 21 Jun 2022, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.