Johor · 21 June 2022

1st session, 2nd meeting · 169 turns · 32,763 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, apakah sebenarnya tujuan soalan lisan? Sebenarnya jika dirujuk kepada Buku Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap dalam Perkara 25(1).

“Tujuan yang sebenar didatangkan soalan itu untuk mendapatkan keterangan yang betul berkenaan dengan perkara-perkara yang sebenarnya diketahui oleh Menteri Besar atau Ahli yang dialamatkan soalan kepadanya itu dan sesuatu soal itu tidak boleh sekali-kali dijadikan sebab bagi menerbitkan Perbahasan”.

”Di samping itu, soal-soal itu juga tidak boleh dibenarkan apabila jawabnya sudah pun diketahui oleh Ahli itu dari jawatannya di dalam sebarang Jawatankuasa atau Dewan Negeri atau dari sebarang jawapan yang telah diberikan kepada sebarang soalan yang terdahulu”. Ini dia sebut dalam Perkara 25(7)”.

Justeru secara mendalam, apa yang dimaksudkan dengan soalan ialah satu pertanyaan yang kita benar-benar tidak tahu jawapannya dan bukan menyoal untuk menguji orang yang ditanya seperti soalan peperiksaan. Sebab itu kalau Ahli-Ahli Yang Berhormat pergi ke kaunter-kaunter di mana-mana jabatan, ayat yang digunakan ialah kaunter pertanyaan bukan kaunter soalan. Sebab itu Ahli-Ahli Yang Berhormat, buatlah soalan yang tepat agar kita mendapat jawapan yang tepat, telus dan fakta baru yang rakyat juga mahu tahu dan ingin berkongsi. Maka menjadi tanggungjawab kepada semua EXCO memberikan jawapan yang tepat dan padat kepada Soalan Lisan. Jika ini berlaku, maka ia adalah resepi yang akan memartabatkan lagi Dewan Negeri Johor. Terima kasih.

Soalan LisanQuestions

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kerajaan negeri Johor telah menubuhkan satu jawatankuasa err, soalan saya soalan 1. (Ketawa).

Program Jaminan Bekalan Makanan Johor telah menerima peruntukan RM16.66 juta peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk 6 program. Apakah status, butiran dan impak program ini?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi, salam sejahtera, salam Makmur Johor, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Mengkibol di atas soalan nombor 1.

Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34.56 juta untuk pelaksanaan Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA bagi merancakkan sektor pertanian dan agro makanan negeri Johor dengan

perlaksanaan bagi tahun 2021 hingga 2022. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada peruntukan untuk sektor pertanian dan agro makanan negeri Johor keseluruhannya. Selain daripada itu, untuk tahun 2022, peruntukan berjumlah RM16.2 juta diterima daripada kerajaan negeri manakala peruntukan sebanyak RM20 juta diterima daripada Kementerian Kewangan Malaysia. Melalui peruntukan PENJANA yang berjumlah RM34.56 juta tersebut, kerajaan telah menyalurkan kepada 6 jabatan atau agensi bagi perlaksanaan projek-projek yang telah disasarkan untuk tempoh 2021 hingga 2022 iaitu :

1. Jabatan Pertanian Johor sebanyak RM2 juta. 2. Jabatan Veterinar Negeri Johor sebanyak RM5.5 juta. 3. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Johor sebanyak RM900,000.00. 4. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebanyak RM500,000.00. 5. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sebanyak RM9 juta dan 6. Jabatan Negeri Johor sebanyak RM16.6 juta.

Berbalik kepada soalan Yang Berhormat Mengkibol, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM16.66 juta daripada Kementerian Kewangan. Ia bagi melaksanakan 6 program yang dinyatakan tadi iaitu :

1. Program Peningkatan Pengeluaran Hasil Pertanian sebanyak RM2 juta. 2. Program Peningkatan Hasil Padi Periuk Nasi Selatan sebanyak RM5 juta. 3. Program Pertanian Komuniti sebanyak RM4 juta. 4. Program Pengeluaran Makanan Selamat sebanyak RM600,000.00 5. Program Penilaian Tanaman, Program Pemilikan Teknologi Mekanisasi sebanyak RM3 juta. 6. Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dan Pengusaha sebanyak RM2 juta.

Untuk makluman Yang Berhormat juga, sehingga Jun 2022 secara keseluruhannya Jabatan Pertanian Negeri Johor telah membelanjakan 70.7% daripada jumlah peruntukan tersebut iaitu RM11.794 juta daripada jumlah keseluruhan RM16.66 juta tadi dan telah memberikan manfaat kepada 2,803 usahawan tani.

Dan, soalan seterusnya adalah berkenaan status kepada program tersebut ialah bagi program pertama iaitu Program Peningkatan Pengeluaran Hasil Pertanian. Sehingga kini Jabatan Pertanian telah berjaya melaksanakan bantuan kepada 167 peserta dengan keluasan anggaran 340 hektar yang melibatkan projek buah-buahan jangka panjang, jangka pendek dan sederhana termasuk sayur-sayuran kontan.

Bagi program kedua iaitu Peningkatan Hasil Padi Periuk Nasi Selatan, sehingga hari ini kerajaan telah dibelanjakan sebanyak RM3.5 juta bagi perlaksanaan bantuan infrastruktur, teknologi, input dan sebagainya. Ia telah memberikan manfaat kepada 897 pesawah keseluruhan.

Bagi program ketiga, status ehingga hari ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.8 juta dan telah memberi manfaat ekapda 1,445 orang peserta.

Bagi program keempat, Program Pengeluaran Makanan Selamat; program ini bertujuan bagi mewujudkan pengusaha yang sentiasa komited dalam pengeluaran makanan selamat dan sehingga ini 51 orang pengusaha telah mendapat manfaat melalui program ini dengan perbelanjaan keseluruhan semasa sebanyak RM639,517.00.

Bagi program yang kelima iaitu Program Pemilikan Teknologi Mekanisme sehingga hari ini kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2,114,183.00 dan melibatkan bantuan kepada 134 pengusaha.

Dan akhir sekali, program yang keenam iaitu Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dan Pengusaha iaitu kerjasama syarikat peneraju dan pengusaha sehingga hari ini telah membelanjakan sebanyak RM1,000,194.96 dan melibatkan 79 pengusaha.

Secara keseluruhannya Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga hari ini Program Jaminan Bekalan Makanan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor ini telah memberi manfaat kepada 2,803 pengusaha di seluruh negeri Johor. Kerajaan negeri akan sentiasa memantau proses perlaksanaan program ini dan mensasarkan perlaksanaan keseluruhan 6 program tersebut iaitu sebanyak RM16.66 juta menjelang November 2022. Terima kasih.

Speaker

Sila Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kerajaan negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bekalan Makanan Peringkat Negeri pada sidang Dewan pada November tahun 2021 di bawah Agenda Keselamatan Bekalan Makanan. Jadi, Jawatankuasa Bekalan Makanan ini perlulah berperanan untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup yang tinggi, harga barangan yang semakin meningkat dan kekurangan bekalan makanan seperti ayam dan tepung. Untuk menjaminkan bekalan makanan, kerajaan negeri perlu menetapkan harga minimum bagi buah-buahan, sayuran, ayam, daging kerana ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan yang kita hadapi sekarang yang disebabkan oleh pengurangan hasil pengeluaran. Soalan tambahan saya, apakah tindakan yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa ini? Apakah polisi yang telah digubalkan dan siapakah ahli jawatankuasa ini? Sekian, terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol atas soalan tambahan tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker izinkan saya untuk menyebutkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor. Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri Johor dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan jawatankuasanya terdiri daripada Sekretariat ialah J-Biotech dan BPENJ, jawatankuasa ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pemantauan, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Jabatan-Jabatan Pertanian Negeri, Veterinar. Dan bagi Jawatankuasa Kerja dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar dan objektif penubuhan ataupun fungsi Jawatankuasa Sekuriti Bekalan Makanan ialah :

1. Sebagai badan penasihat kepada perlaksanaan, penasihat dan pelaksana tertinggi kepada kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab mengenalpasti isu-isu berkaitan sekuriti makanan, sektor pertanian dan agensi makanan.

2. Berfungsi sebagai penyelaras strategi dan rancangan tindakan dalam menangani masalah keselamatan makanan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

3. Mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak yang bekepentingan termasuk akademik, pemain dan pakar industri, badan bukan kerajaan (NGO), petani, penternak dan nelayan dalam menangani masalah keselamatan makanan.

4. Merangka, melaksana dan memantau langkah-langkah intervensi yang sesuai serta mencadangkan hala tuju baru sektor pertanian dan industri makanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh dan holistik.

5. Bertindak sebagai pelengkap kepada strategi-strategi kesejahteraan rakyat, kemampuan, kemampanan ekonomi serta agenda pembangunan lain yang didukung oleh kerajaan negeri agar lebih efisien dan produktif.

6. Memastikan tahap keselamatan makanan sentiasa stabil dari segi ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan dan kemampuan kepada rakyat Johor setiap masa.

7. Mewujudkan Tabung Amanah Sekuriti Makanan Negeri Johor yang bertujuan untuk mengumpulkan sumbangan dan dana daripada kerajaan persekutuan dan pemain industri utama.

Yang Berhormat, saya fikir atas fungsi ini terjawab soalan Yang Berhormat tadi termasuk mengawal harga dan sebagainya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Mahkota.

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Datuk Speaker, salam perkenalan YB-YB, salam Maju Johor. Datuk Speaker semakin tampan, Mahkota ajukan soalan tambahan.

Apakah pencapaian yang menjadi sasaran Jabatan Pertanian selepas program-program yang dirancang ini selesai dilaksanakan dan berapa ramai yang telah berjaya melepasi target sebenar? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Saya minta jawab semula, soalan semula tak berapa jelas. Sebab saya keliru dengan tampan tadi tu. (Dewan ketawa).

Speaker

Itu yang saya rasa makin muda tu.

Patut saya tengok Datuk Speaker senyap aje.

Apakah pencapaian yang menjadi sasaran Jabatan Pertanian selepas program-program yang dirancang ini selesai dilaksanakan dan berapa ramai yang telah berjaya melepasi target sebenar?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat, saya... terima kasih kepada Yang Berhormat Mahkota atas soalan tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa tak perlulah saya ulang satu-persatu tentang apa saya sebutkan tadi tapi kalau yang ... Speaker benarkan saya sebutlah.

Pencapaian untuk program pertama atau keseluruhannya melibatkan 2,803 orang pengusaha yang telah dibantu dan secara keseluruhan seperti yang disoal oleh Yang Berhormat Mahkota tadi, Jabatan Pertanian amat serius dalam melaksanakan 6 program yang saya sebutkan dalam jawapan utama tadi.

Dan justeru dengan peruntukan sebanyak RM16.66 juta itu tadi, Jabatan Pertanian mensasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan utama sebanyak 32.46% iaitu daripada 716,000 metrik tan pada tahun 2022 ini, mensasarkan kepada pengeluaran sebanyak 948,000 metrik tan pada tahun 2027.

Manakala untuk sayur-sayuran, Jabatan mensasarkan peningkatan sebanyak 32.87% iaitu daripada 136,800 metrik tan pada tahun 2022, disasarkan kepada 181,800 metrik tan pada tahun 2027. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Yang Berhormat Datuk Speaker, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Soalan Pemanis nombor 2.

Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan perumahan mampu milik di dalam DUN Pemanis dan jika ada di manakah lokasinya dan berapakah jumlah rumah mampu milik yang akan dibina nanti?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor.

Speaker

Ok, ok...

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan 2, 3, 4, 5, 6, kita cadangkan supaya soalan ini bersekali.

Speaker

Oh maafkan saya. Saya jemput... saya benarkan soalan ni dijawab bersekali. Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Keperluan Rumah Mampu Milik Johor dan Projek Rumah Rakyat (sewa/sewa beli) di dalam kawasan DUN Kota Iskandar dalam tempoh 5 tahun mendatang. Bilakah tarikh projek dilaksanakan dan jangka siap dan di mana tempatnya serta berapa jumlah unit?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 4.

Saya sering menerima keluhan dan curahan rasa hati golongan belia di kawasan saya, yang mana mereka sangat mengidamkan untuk memiliki rumah mampu milik bagi keselesaan keluarga. Justeru adakah kerajaan negeri bercadang untuk menambah kawasan bagi membina rumah mampu milik ini?

Speaker

Terima kasih. Saya jemput Yang Berhormat Permas.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 5.

Bagaimanakah strategi kerajaan untuk memenuhi keperluan rumah mampu milik di Parlimen Pasir Gudang?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Maharani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Maharani sebuah daerah membangun pesat dan sosioekonomi yang maju. Apakah perancangan kerajaan untuk meningkatkan lagi pembinaan perumahan kos rumah murah dan kos rumah sederhana di daerah Muar khususnya Maharani?

Speaker

Sila.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya akan menjawab soalan bersama dengan soalan A47, YB Sungai Balang; A79, YB Kota Iskandar; A85, YB Pemanis; A151, YB Permas dan A159 YB Maharani.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, penyediaan perumahan mampu milik adalah merupakan tumpuan utama kerajaan pada hari ini. Dan ia adalah salah satu komponen utama di dalam teras kemudahan dan keperluan asas, sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam menjayakan Gagasan Maju Johor yang merupakan aspirasi menjadikan Johor sebagai negara maju pada tahun 2030.

Berdasarkan kepada data kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pelan susun atur di semua Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT di seluruh negeri Johor, terdapat 153,712 unit perumahan rakyat yang masih belum dibina oleh pemaju-pemaju hartanah sejak 25 tahun dahulu atau semenjak tahun 1997. Kegagalan pembinaan tersebut perlulah segera diatasi dengan strategi dan pemantauan yang berkesan apatah lagi melihat projek-projek rumah mewah telah pun dibina.

Sehubungan dengan itu, penubuhan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor atau PKPJ yang menggantikan fungsi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor merupakan manifestasi kepada iltizam serta komitmen kerajaan negeri Johor untuk memperbanyakkan lagi segmen-segmen perumahan khususnya kumpulan B40 dan M40.

Kerajaan negeri telah meminta PKPJ untuk merangka pembentukan Planning Design and Review Committee atau PDRC yang berperanan untuk menilai, memantau, memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik. Jawatankuasa yang dianggotai oleh pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, Plan@Malaysia-Johor dan agensi-agensi utiliti seperti SAJ, TNB, IWK akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40.

Di samping itu, PKPJ juga akan menjadi centralized database atau pemusatan data perumahan data perumahan, bagi memastikan koordinasi yang lebih efisien bagi pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan transit oleh semua agensi kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan dan juga pemaju hartanah swasta.

Berdasarkan kepada rangka kerja awal, bermula 10 April 2022 perjumpaan kami bersama 21 pemaju hartanah dan data kelulusan KM di PBT, adalah disasarkan 21,139 unit perumahan mampu milik telah dan akan dibina secara berperingkat sehingga tahun 2026. Ia melibatkan semua daerah di negeri Johor, malah untuk akhir tahun 2022 dan awal tahun 2023, terdapat 5,033 rumah akan siap dibina dan akan sedia ditawarkan dengan harga rumah bernilai di bawah RM150,000.00.

Di samping sasaran penyediaan perumahan mampu milik oleh pemaju hartanah tersebut, kerajaan negeri juga telah mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang bersesuaian bagi

pembinaan perumahan bagi kumpulan B40 dan M40, sama ada perumahan mampu milik yang boleh dibeli mahu pun perumahan transit.

Bagi memenuhi keperluan Bangsa Johor, bagi tujuan ini kerajaan negeri melalui PKPJ akan bekerjasama erat dengan KPKT bagi penyelarasan perancangan dan sumber peruntukan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih atas jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat EXCO tadi. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO, adakah kerajaan negeri ada bercadang untuk membantu bakal-bakal pemilik rumah ini, oleh kerana hari ini apabila sebut rumah mampu milik, kebanyakan institusi-institusi perbankan ini mereka agak liat untuk memberikan pinjaman terutamanya kepada golongan-golongan B40. Jadi adakah kerajaan ada sediakan satu mekanisme untuk membantu golongan-golongan yang terlibat, yang dikatakan sukar untuk mendapatkan pinjaman perumahan. Terima kasih Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Pemanis. Kita kena terima hakikat bahawa bank ini dia berorientasikan keuntungan. Dan saya, saya ingat semua orang tahulah bahawa B40 adalah golongan yang paling susah mendapat pinjaman di bank. Ini hakikat, ini hakikat, saya ingat semua YB pun bila pengaduan di peringkat kita, kita pun mendapat makluman yang sama. Dia punya perumpamaan senang. Hari ini bank dia luluskan 1 loan RM400,000.00, kalau dia nak luluskan loan untuk B40 RM42K, dia kena cari 10 orang. 10 orang dengan 1 orang. Dah tentulah bebanan kerja tu tinggi.

Kita di peringkat perumahan sedar masalah ini dan ada beberapa cara, walaupun tidak dapat membantu semua, antaranya ialah menawarkan ke rumah PPR. Tapi rumah PPR ini dia bersifat sewa iaitu sebulan RM250.00 ataupun yang paling popular ialah mereka memohon rumah SPNB. SPNB ni bukan di dalam bidang kuasa kerajaan negeri pasal dia di bawah MOF. Jadi keputusan yang dibuat ialah melalui peruntukan MOF. Dan, SPNB ini dalam perjumpaan saya dengan Pengarah SPNB Johor, saya mendapati permintaan untuk SPNB terlalu tinggi. Sebagai contoh tahun lepas peruntukan SPNB hanya untuk Johor baru sekitar 400 unit tetapi permohonan dalam list SPNB 18,000. Jadi mana mungkin semua permohonan itu akan diproses. Dan tahun ini tahun 2022, peruntukan Johor dipotong, daripada 400 kepada 175, separuh. Jadi sebab itulah saya mendapat banyak pertanyaan daripada YB-YB baik daripada kerajaan dan sebelah sana tentang isu SPNB. Namun begitu, di peringkat perumahan PKPJ khasnya, kita ada berbincang, kita berbincang untuk mengeluarkan sedikit peruntukan, dah berbincang dengan SPNB, dia akan meng allocate kan RM8 juta tahun depan. Dan kita di peringkat perumahan, akan keluarkan dalam RM22 juta, lebih kurang dalam RM30 juta, equal tu atau akan menyediakan rumah tambahan 400 unit lagi. Kenapa mereka suka sangat dengan rumah SPNB ini YB-YB?. Sebab SPNB ini 20% adalah subsidi daripada kerajaan. Mereka hanya bayar 55% dan tidak ada daripada segi kelulusan sangat mudah berbanding dengan loan bank. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Kota Iskandar.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam soalan tambahan saya ini berkaitan dengan pencerahan daripada EXCO Kerajaan Tempatan tadi, di kawasan Kota Iskandar ini Yang Berhormat Datuk Speaker yang lepas ada dilancarkan Rumah Makmur Johor tak jauh daripada Kota Iskandar ini lebih kurang makan masa 15 minit, permintaannya amat tinggi. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO, apakah status projek ini? Adakah diteruskan kerana apabila dilancarkan Yang Berhormat Dato’ bahawa permintaannya amat tinggi. Saya sering dijumpai oleh bakal-

bakal pembeli menyatakan keresahan tentang projek ini. Jadi di Dewan mulia ini saya ingin pencerahan daripada Yang Berhormat EXCO berkaitan projek Rumah Makmur Johor yang mana ia dijadikan contoh pemaju tidak dapat mengusahakan rumah mampu millik, diserah balik kepada kerajaan. Sekian terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Sebenarnya saya, terima kasih YB. Sebenarnya saya nak jawab dalam pengulungan untuk pengulungan YB EXCO nanti. Namun begitu saya nak maklumkan untuk jumlah yang saya sebut tadi iaitu 21,139 unit yang kita sasarkan sehingga 2026 di Johor Bahru sahaja telah dan akan dibuat lebih kurang 13,236 termasuk di Kota Iskandar. Terima kasih.

Speaker

Ya saya silakan Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Datuk Speaker. Kita ada dalam keadaan kontradiksi, di mana kita ada kelebihan perumahan housing lot terutamanya di Johor Bahru tetapi kita juga ada kurangan rumah mampu milik. Dan kita menghadapi 2 cabaran. Satu ialah kadar faedah akan naik mendadak. Kedua, kos pembinaan juga naik mendadak tahun ini. Adakah kerajaan negeri bersedia untuk memikir bukan sahaja milikan tetapi sewaan dan juga memikir bagaimana kita boleh mewujudkan undang-undang supaya sewaan boleh dijadikan apa ni lebih diterima dan sewaan pelbagai peringkat apa ni, pelbagai peringkat perumahan tapi sewaan ini penyewa dan juga pemilik rumah dibela? Adakah kita bersedia untuk memikir bukan sahaja milikan tetapi sewaan. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Saya macam kurang jelas tetapi saya cuba jawab. Untuk makluman Yang Berhormat Perling, terima kasih atas soalan. Sebenarnya di peringkat Dasar Perumahan Johor, kita ada beberapa kategori rumah. Pertama dipanggil rumah RMBJ atau Rumah Mampu Biaya Johor. Kedua adalah rumah PPR atau RSK. PPR ini RSK adalah peruntukan daripada Kementerian KPKT. PPR besok saya akan jawab YB tentang isu. Sebenarnya kita ada buat juga skim untuk rent to own tetapi kuantitinya sangat rendah dan esok akan jawab dalam soalan-soalan melibatkan PPR. Terima kasih.

Speaker

Saya oleh kerana soalan ini penting. Saya persilakan Maharani.

Terima kasih Datuk Speaker. Oleh kerana perumahan mampu milik ini menjadi keutamaan kepada B40 dan saya ingin bertanyakan tentang status perumahan Taman Perbandaran Islam yang telah pun dirasmikan di Maharani pada tahun 2018, sehingga sekarang masih lagi tidak ada sebarang ya, pembinaan. Ini saya minta penjelasan daripada EXCO perumahan. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih YB. Sebenarnya untuk makluman YB-YB dan Datuk Speaker, selepas COVID-19 melanda seluruh negara, khasnya di Johor ini ramai pemaju-pemaju gulung tikar, ramai pemaju. Saya, hatta, syarikat besar pun seperti PRIMA berhadapan dengan isu perumahan sakit atau projek tertunda. Untuk menjawab soalan YB tadi. Dalam senarai perumahan Johor perumahan, di Muar kita untuk 5 tahun ini ada disenaraikan 812 unit rumah ya. Untuk makluman semua ya, seperti saya bentangkan tadi di peringkat kita perumahan ada disasarkan 21,139 unit. 21,139 unit ini melibatkan 85 projek perumahan di seluruh Johor. Melibatkan 10 daerah dan melibatkan 45 pemaju. Untuk maklumat yang lebih detail saya akan beri pada YB kemudian.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Saya persilakan, saya jemput Kukup.

Yang Berhormat Datuk Speaker...

Speaker

Saya jemput Kukup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya minta...

Speaker

Saya jemput Kukup.

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.

Apakah tindakan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah anjing liar serta serangan monyet di kawasan perumahan dan di kampung-kampung yang telah merosakkan tanaman dan harta benda serta menganggu ketenteraman awam dan kesejahteraan penduduk?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Salam sejahtera, salam maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya begitu menyelesaikan masalah anjing liar atau terbiar dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), ya. PBT negeri Johor menggunakan tatacara operasi piawaian SOP penangkapan dan pelupusan anjing terbiar di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan sebagaimana Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 tahun 2014. SOP ini mengandungi kaedah aktiviti kawalan anjing, penangkapan dan pengurungan anjing, tuntutan semula anjing, bertujuan untuk membantu PBT dalam menjalankan operasi dengan lebih berkesan dan tanpa penganiayaan kepada haiwan. Bagi tempoh tahun 2017 hingga Mei 2022 sebanyak 55,203 ekor anjing liar atau terbiar telah berjaya diambil tindakan melalui operasi yang dijalankan oleh PBT atau pihak kontraktor yang dilantik bagi melaksana aktiviti tersebut dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, PBT juga sentiasa proaktif dalam mencari kaedah yang terbaik bagi menangani masalah anjing liar atau terbiar di dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Mengambil contoh di MBJB di antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti berikut:-

1. Dog adoptation, dengan izin. Melalui program-program dog adoptation ini anjing-anjing liar yang ditangkap akan diambil oleh NGO yang berminat untuk dirawat dan dipellihara.

2. Program kembiri dalam mengawal populasi anjing. PBT menggalakkan proses penggembirian oleh NGO dan agensi-agensi swasta. PBT juga bekerjasama NGO bagi melaksanakan program kembiri dan pendidikan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

3. Mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan perlesenan anjing. Menambah anggota dan meningkatkan kemahiran anggota serta menambahbaik kelengkapan anggota yang terlibat dalam aktiviti ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi aktiviti kawal selia hidupan liar seperti kacau ganggu atau aduan berkaitan dengan serangan monyet liar, ianya adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) iaitu di bawah Akta Pemulihan Hidupan Liar, Akta 716, 2010. Kerajaan negeri Johor memahami serta prihatin akan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung dan juga kawasan perumahan yang terlibat dengan gangguan kera. Menerusi Jabatan PERHILITAN, pelbagai usaha telah dan sedang dibuat bagi menyelesaikan dan mengurangkan gangguan hidupan liar ini seperti menjalankan siasatan, pemantauan dan memberi khidmat nasihat kepada

orang ramai bagi setiap aduan yang diterima. Memasang perangkap dan melupus, memasang perangkap kera bagi mengurangkan populasinya, mengadakan program kesedaran awam secara berkala seperti sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat setempat.

Berdasarkan rekod dalam tempoh 2015 hingga 2021 Jabatan PERHILITAN Negeri Johor telah menerima aduan daripada orang awam sebanyak 7697 aduan. Dengan inisiatif yang dibuat oleh Jabatan PERHILITAN sepanjang 5 tahun sejumlkah 27,390 tindakan telah diambil dalam pengurusan konflik kera. Umumnya, tiada tindakan spesifik yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar. Namun tindakan yang paling berkesan yang digunakan oleh jabatan ialah pemasangan perangkap kera. Secara kesimpulannya, PBT akan merujuk perkara tersebut kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut. PBT juga senitasa bekerjasana dengan pihak PERHILITAN bagi menyelesaikan aduan serangan monyet liar. Sebagai contoh pihak MBIP mengambil inisiatif menyediakan sangkar atau perangkap bagi membantu operasi tangkapan monyet liar oleh PERHILITAN. Saya juga akan sentiasa bekerjasama dengan EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Johor bagi menyelesaikan perkara-perkara tersebut. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Kukup.

Soalan tambahan saya, pertama sekali terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO memberi jawapan. Tambahan soalan saya ialah adakah inisiatif atau cadangan tambahan daripada kerajaan negeri bagi mengurangkan masalah anjng liar dan monyet ini dan adakah salah kalau persendirian ataupun orang-orang perseorangan mengambil tindakan untuk menghapuskan anjing liar dan juga monyet ini? Terima kasih

Speaker

Bawa batu tambahan ya Yang Berhormat, saya pagi-pagi, saya clean masuk jalan kampung, basikal saya itu jadi berat kerana terpaksa bawa batu tambahan untuk menghalau anjing. Kalau boleh tembak saya boleh tembak, sila.Tenggaroh.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Kukup atas soalan tambahan. Mulanya saya bagi punca kuasa tembak mati untuk hidupan liar, Akta Pemulihan Hidupan Liar, (2010) Akta 716, Sekyen 52, pegawai yang memburu hidupan liar, 52 walaupun apa pun, apa-apa jua dalam akta ini, seorang pegawai yang bertindak secara suci hati dalam menjalankan kuasanya di bawah Akta ini boleh memburu mana-mana hidupan liar jika hidupan liar itu berbahaya kepada nyawa atau harta manusia atau ia adalah perlu atas suai manfaat untuk mengelakkan hidupan liar itu daripada menderita dengan tidak sepatutnya.

Speaker

Jadi boleh tembaklah Yang Berhormat?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Ini hanya untuk pegawai sahaja yang diberi kuasa, orang ramai tidak. Itu adalah jawapan daripada Akta. Tetapi untuk jangka masa panjang kita tahu ya perangkat kera, yang lain semua tindakan diambil ialah tindakan-tindakan jangka masa pendek. Apa-apa kita ada masalah konflik manusia dan hidupan liar. Untuk jangka masa panjang mungkin akan dicadangkan pada kerajaan negeri dan kita akan buat ialah Pelan Pengurusan Konflik Antara Manusia Dan Hidupan Liar. Walaupun pelan ini tidak akan mampu menyelesaikan masalah dengan sekelip mata, tetapi dengan langkah dan tindakan yang berdisplin dan berterusan masalah ini mampu dirungkai. Dan bila kita cakap Pelan Pengurusan Konflik, Jabatan PERHILLITAN ada haiwan-haiwan yang dia boleh berkuasa, PBT ada jabatan yang dia berkuasa so kita, Pelan Pemulihan ini akan di antara jabatan, seperti saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada EXCO-EXCO dia minta kita pergi beyond boundries daripada jabatan.

Speaker

Bukan konflik antara anjing dengan manusia itu?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Kera pun ada. Kera di bawah PERHILITAN, anjing di bawah PBT dia so kuasa dia lain-lain Yang Berhormat Tuan Speaker. So, kita perlukan satu pelan pengurusan untuk jangka masa yang panjang untuk menyelesaikan masalah-masalah ini. Sekian.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Tangkak, soalan tambahan.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita tahu merujuk jawapan daripada Yang Berhormat EXCO tadi, hidupan liar ini apabila PERHILITAN menerima aduan cara yang paling banyak diguna adalah guna sangkar atau perangkap. Jadi soalan tambahan Tangkak ke mana hantar hidupan liar ini selepas ditangkap dan adakah negeri Johor mempunyai kawasan rizab kawasan hidupan liar ataupun diletak di hutan simpanan yang sedia ada dan adakah lokasi-lokasi ini sesuai dan paling penting jauh dengan kawasan penempatan manusia supaya hidupan liar ini tidak akan balik dan teruskan kacau ganggu. Terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak atas soalan. Memang kita gunakan perangkap untuk menangkap kera dan juga hidupan-hidupan liar. Antara kita lepaskan ialah kita melepaskan di dalam hutan-hutan simpanan atau hutan yang jauh daripada kawasan perumahan. Tapi bila kita buat perancangan perbandaran, kadang-kadang kawasan-kawasan tersebut di develop, lepas tu dia dah tak ada tempat nak pergi. Pasal tu bila saya cadangkan ialah Pelan Pengurusan Konflik ini penting untuk dari segi PBT, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Jawatankuasa Masyarakat Setempat, merangka satu pelan bila kita nak buat pembangunan adakah kita mengacau ganggu hidupan liar. Lain kali kita tidak akan terima masalah-masalah sebegini demikian. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 8.

Apakah inisiatif kerajaan Johor untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat terutamanya di DUN Sedili, dahulu adanya Bas Muafakat yang akhirnya seperti tidak wujud lagi.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh, salam Maju Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sedili. Perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) merupakan perkhidmatan bas percuma kepada warganegara Malaysia yang telah dilaksanakan bermula tahun 2016 yang telah disediakan oleh kerajaan negeri Johor dan juga 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat yang dikendalikan oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ). Tujuan perkhidmatan ini diadakan ialah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dan memberikan kemudahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat di laluan-laluan sosial yang telah dikenalpasti.

Untuk makluman Yang Berhormat Sedili, bagi laluan Bas Muafakat Johor di kawasan Sedili, perkhidmatan ini masih lagi belum beroperasi. Ianya adalah cadangan tambahan laluan baru yang telah dikemukakan di Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2021 yang lepas. Kerajaan negeri juga telah bersetuju dengan cadangan tambahan 9 laluan baru Bas

Muafakat Johor yang melibatkan kos sebanyak RM3.84 juta. Salah satu daripada 9 cadangan tersebut ialah di dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi yang melibatkan laluan dari bandar Kota Tinggi ke Tanjung Sedili (KT03) dengan cadangan kekerapan trip sebanyak 4 kali sehari. Walau bagaimanapun, cadangan bagi 9 tambahan laluan Bas Muafakat Johor ini masih lagi dalam proses dan masih belum beroperasi sehinggalah proses memuktamadkan klausa dan juga perjanjian perkhidmatan dari kerajaan negeri ke Perbadanan Pengangkutan Awam Johor. Pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Johor akan menjalankan proses perolehan bagi melantik operator yang berkelayakan untuk menjalankan operasi di laluan tersebut sekiranya proses memuktamadkan klausa dengan pihak kerajaan negeri telah selesai. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya, seterusnya saya benarkan jawab bersekali. Saya jemput dulu Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Berapakah peruntukan Anak Johor Prihatin salah satu inisiatif Bantuan Bangsa Johor yang diumumkan pada 14 April 2022 oleh YAB Menteri Besar Johor yang telah disalurkan setakat ini dan kepada berapa ramai anak yatim bagi DUN Pasir Raja?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 10.

Apakah mekanisme pemberian bantuan daripada kerajaan negeri bagi membantu anak-anak yang kehilangan ibu dan bapa mereka akibat COVID-19? Berapakah statistik jumlah mereka yang terlibat mengikut daerah dan juga DUN?

Speaker

Sila.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Pasir Raja, terima kasih Pemanis. Bagi menjawab soalan Pasir Raja dan Pemanis, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri Johor kerana telah meluluskan Program iaitu Anak Johor Prihatin sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di bawah inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor pada 14 April 2022.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor sentiasa komited dan memandang serius berkenaan anak yatim akibat pandemik COVID-19. Oleh itu, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim melaksanakan Program Anak Johor Prihatin merupakan program jangka panjang bagi menyantuni anak-anak yatim dan yatim piatu akibat COVID-19 demi menjaga kebajikan dan pendidikan masa depan mereka hingga berusia 21 tahun. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi tahun 2022, bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Program Anak Johor Prihatin.

Inisiatif-inisiatif dan mekanisme tersebut adalah :

1. Bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga mereka berusia 21 tahun khas untuk anak yatim piatu COVID-19.

2. Bantuan wang tunai berjumlah RM100.00 sebulan diberikan kepada anak yatim dan yatim piatu sehingga mereka tamat persekolahan dan Bantuan Tunai RM2,000.00 setahun kepada anak yatim piatu bagi menyambung pengajian di Institut Pengajian IPTA.

3. Bantuan sokongan moral disediakan bertujuan untuk memperkasakan sahsiah dan jati diri golongan sasar yang terlibat agar mereka tidak terasa kehilangan dan dapat menempuhi ujian ini melalui persekitaran yang normal seperti kanak-kanak yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bantuan yang diberikan juga berbentuk khidmat kaunseling dan runding cara, program-program motivasi, majlis perjumpaan bersama pemimpin dan Bakul Makanan. Datuk Speaker, bagi DUN Pasir Raja permohonan anak Johor Prihatin setakat ini adalah sebanyak 17 orang. Namun begitu, setakat ini pihak YPKDT terus menyemak semua borang-borang permohonan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Program Anak Johor Prihatin ini. Data yang YPKDT terima setakat hari ini bagi Anak Johor Prihatin adalah seramai 1,151 orang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YPKDT masih lagi menerima permohonan baru dan semakan serta siasatan terus dilakukan bagi memastikan penerima bantuan adalah dibantu dan disantuni. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang telah menjawab dengan baik. Soalan tambahan saya adalah, sehingga hari ini berapa ramai jumlah Anak Johor Prihatin yang telah disantuni dan adakah setiap anak yatim tersebut mendapat haknya? Maksud saya sekiranya, mereka ini sekeluarga, adakah dalam satu keluarga tu satu orang sahaja yang dapat ataupun kesemua adik-beradik mereka yang dapat. Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Pasir Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan tersebut, sehingga hari ini seramai 142 orang penerima manfaat telah disantuni daripada 1,412 permohonan di kalangan Anak Johor Prihatin bagi beberapa daerah iaitu Tangkak seramai 92 orang, Kota Tinggi seramai 30 orang, Johor Bahru seramai 20 orang manakala bagi daerah-daerah lain sedang diatur dan disusun penyampaiannya mengikut peringkat dan akan diselesaikan sehingga Oktober 2022.

Yang Berhormat Datuk Speaker, data-data Anak Johor Prihatin ini diperolehi daripada Sekolah-Sekolah Kebangsaan, Jenis Kebangsaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan bagi anak-anak yang belum bersekolah pula, YPKDT telah mewujudkan satu task force team yang mencari sendiri anak-anak ini agar tiada yang tercicir. Selain itu permohonan Anak Johor Prihatin masih lagi dibuka dan terima kasih.

Speaker

Saya jemput Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO berkenaan dengan bantuan kepada anak-anak yatim yang telah kehilangan ibu dan bapa akibat COVID-19. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan Bantuan Anak Johor Prihatin. Selain daripada Bantuan Anak Johor Prihatin ini, adakah kerajaan negeri bercadang untuk memberikan juga peluang kepada syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri Johor contohnya untuk memberikan bantuan kepada anak-anak yatim ini oleh kerana mereka telah kehilangan kedua ibu bapa dan pihak yang menjaga itu terpaksa menanggung kos saraan untuk anak-anak ini. Jadi,

adakah pihak kerajaan negeri bercadang untuk mendapatkan tambahan peruntukan bagi membantu anak-anak yatim ini?. Terima kasih Datuk Speaker.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Anak Yatim Johor ini adalah merupakan satu pelan jangka panjang bagi menyantuni anak-anak yatim ini yang kehilangan ibu dan bapanya, ibu bapa atau penjaganya akibat COVID-19, demi menjaga kebajikan dan pendidikan masa depan mereka hingga mereka tamat sekolah atau berusia 21 tahun. Program ini termasuk di bawah Bantuan Kasih Bangsa Johor yang mensasarkan anak-anak kelahiran negeri Johor atau bersekolah dan menetap di negeri Johor berumur 1 hingga 21 tahun dengan syarat sijil kematian ibu bapa dan penjaga itu tertera kematiannya disebabkan oleh COVID-19.

Berkenaan soalan Pemanis bahawa kerajaan negeri Johor adakah akan memberi bantuan selanjutnya untuk anak yatim ini. Oleh kerana ini merupakan pelan jangka panjang, maka sudah pasti kerajaan negeri Johor akan melihat kepentingan anak yatim ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Yang Berhormat Datuk Speaker, pecah kaca pecah gelas, soalan saya nombor 11.

Adakah kerajaan negeri mempunyai blueprint khusus untuk industri e-Sports negeriini dan apakah perancangan kerajaan negeri untuk memperhebat industri e-Sports dan melahirkan jaguh-jaguh e-Sports di negeri ini?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor, salam sejahtera. Sekali lagi terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat yang bertanyakan soalan pada pagi ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Tanjung Surat, aspirasi Kementerian Belia dan Sukan adalah untuk menjadikan hab e-Sports atau e-Sukan di rantau Asia Tenggara dan Kementerian Belia dan Sukan telah pun melancarkan Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan 2020 hingga 2025 pada tahun 2019. Dan salah satu pendekatan Kementerian Belia dan Sukan adalah dengan menganjurkan dan menyokong program-program e-Sukan di pelbagai peringkat bagi melahirkan atlet-atlet berpotensi di dalam e-Sukan. Seterusnya sebagai persediaan Sukan SEA yang akan berlangsung pada tahun 2027. Pada 23 Mac 2021 Menteri Belia dan Sukan telah pun merasmikan Pelancaran Malaysia e-Sports ataupun MES 2021.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, menerusi Majlis Sukan Negeri Johor setakat hari ini masih tiada lagi blueprint khusus untuk industri e-Sports di negeri Johor. Namun pelbagai inisiatif telah pun dilaksanakan untuk memeriahkan industri e-Sports di negeri Johor. Antaranya menerusi Sport Johor Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Johor Bahru e-Sports Associaton (JBEA) telah menganjurkan pertandingan e-Sports Festival, dengan izin telah bermula dari bulan Mac dan berakhir pada bulan Oktober ini. Meskipun setakat ini tiada blueprint khusus untuk industri e-Sports di negeri Johor, untuk makluman Yang Berhormat Tanjung Surat, saya sudah bertemu dengan pelbagai pihak dan pihak Sport Johor yang kini sedang dalam kerangka menyiapkan kajian di peringkat akar umbi bagi menghasilkan Pelan komprehensif iaitu Johor Sport Master Plan dengan izin. Insya-Allah saya yakin dapatan mengenai pembangunan e-Sports adalah antara yang tertinggi akan diperolehi dan dia dapat digunapakai bagi mewujudkan pelan yang mampu memperhebatkan industri e-Sports di Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Saya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mengenai e-Sports ini, selain daripada memberi peluang ataupun menyediakan fasiliti untuk atlet-atlet e-Sports ini, salah satu adalah daripada infrastruktur ataupun keadaan suasana yang dapat memupuk lebih banyak bakat-bakat atlet e-Sports ini.

Jadi soalan tambahan dari Tangkak adalah adakah kerajaan negeri akan mengkaji semula sekatan untuk meluluskan permohonan lesen pusat siber atau kafe siber yang telah disekat sebelum ini? Kedua, adakah premis-premis yang sedia ada ini untuk e-Sports ini telah dilesenkan? Sekian, terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab itu saya cakap dalam kajian kami, kami akan melancarkan Johor Master Sport Plan, insya-Allah dalam masa terdekat kami akan dapatkan dapatan-dapatan daripada sumber-sumber dari bawah dan kami akan bentangkan dalam Persidangan akan datang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12 dan 13.

Berapa banyakkah pusat-pusat hemodialisis yang beroperasi di negeri Johor sama ada milik kerajaan atau swasta berdasarkan daerah serta adakah kerajaan bercadang untuk menambah pusat-pusat hemodialisis di setiap daerah?

Pada tahun 2021, Menteri Kesihatan telah mengumumkan pembelian ambulans dengan nilai RM300 juta. Berapa banyakkah ambulans yang telah diperuntukkan untuk negeri Johor dan jumlah terkini ambulans yang sedia ada berfungsi milik kerajaan, swasta serta NGO di setiap daerah?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih soalan daripada YB Penggaram. Salam perpaduan, salam sihat Bangsa Johor, salam Maju Johor.

Untuk soalan daripada YB Penggaram, di sini saya ingin memberi maklumat bahawa di negeri Johor ini, dalam negeri Johor ini, kita terdapat 109 buah pusat hemodialisis dalam negeri iaitu 13 pusat hemodialisis di bawah kerajaan iaitu di bawah, dalam hospital. Dan ada 96 buah pusat hemodialisis daripada swasta ataupun badan bukan kerajaan ataupun daripada MAINJ. Ia ini merupakan pecahan pusat.

Yang Berhormat daripada daerah Batu Pahat, so saya ingin memberi maklumat di daerah Batu Pahat iaitu di Batu Pahat terdapat 16 buah pusat hemodialisis, satu daripada Hospital Batu Pahat dan 14 buah pusat hemodialisis daripada pusat swasta ataupun daripada NGO dan 1 daripada MAINJ.

Dan buat masa ini, belum lagi ada keperluan yang mendesak bagi Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menambah bilangan pusat hemodialisis di setiap daerah, kerana pusat hemodialisis yang sedia ada masih dapat menampung bilangan pesakit yang perlu menjalani proses hemodialisis di daerah masing-masing. Jika ada swasta ataupun NGO yang ingin menawarkan perkhidmatan hemodialisis yang baru, pihak JKNJ akan sentiasa menyediakan kemudahan dan rela hati untuk membantu mereka. Kerajaan negeri juga sentiasa rela hati untuk membantu khususnya bagi pusat hemodialisis dari NGO.

Bagi soalan nombor 13 pula, Yang Berhormat Penggaram menanya tentang ambulans. Di sini saya memberi maklumat kepada Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, terdapat sebanyak 231 buah ambulans dalam negeri Johor. Dan, 90 buah ambulans di 12 hospital KKM negeri di mana 89% ataupun 80 buah berfungsi dengan baik, manakala 92 buah lagi ditempatkan di klinik-klinik kesihatan. Bagi agensi luar KKM dan NGO, terdapat 49 buah ambulans iaitu 20 buah di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 12 buah di Angkatan Pertahanan Awam, 7 buah di Bulan Sabit Merah Malaysia dan 10 buah St. John Ambulance Malaysia.

Dan juga Yang Berhormat, saya beri maklumat mengenai daerah Batu Pahat. Di dalam Batu Pahat ada 8 buah dalam hospital dan 15 buah di klinik-klinik kesihatan, jumlahnya 23. Dan 6 buah daripada agensi ataupun NGO yang memberi perkhidmatan ambulans ini.

Dan bagi pembangunan kesihatan keluarga, KKM telah memaklumkan proses perolehan baharu ambulans sedang dilaksanakan di peringkat KKM dan keputusan pengagihan masih belum dikeluarkan. Buat masa ini, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih belum menerima sebarang maklumat secara bertulis berkaitan jumlah ambulans yang akan diterima kerana proses perolehan ambulans masih lagi di bawah tindakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Sekian, terima kasih.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak membuat soalan tambahan. Bolehkah saya tahu jumlah pesakit hemodialisis di daerah masing-masing dan juga sebab saya dimaklumkan di kawasan saya pesakit hemodialisis, sakit buah pinggang maklumkan kepada saya, jika mereka nak mencuci buah pinggang di hospital, mereka kena tunggu. Jadi khasnya kepada pesakit yang miskin, ini ada satu beban kepada mereka jika mereka nak mencuci buah pinggang di swasta. So, maka saya rasa yang jawapan yang daripada EXCO Kesihatan tidak menyebutkan, maksud saya tidak men...

Speaker

Tidak mencukupi...

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Ah tidak mencukupi sebab semakin tambah, ada tambahan pesakit hemodialisis, sakit buah pinggang semakin meningkat. Jadi, ini ada satu keperluan untuk menambah pusat tersebut sebab untuk membantu lebih ramai orang miskin sekarang, saya rasa ramai yang ditunggu di luar sana. Sekian, terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok, terima kasih soalan tambahan daripada YB Penggaram. Memang ya benar di hospital kerajaan ramai pesakit hemodialisis yang sedang beratur untuk apa orang kata ni, menerima atau mendapat rawatan hemodialisis dalam hospital kerajaan kerana kosnya lebih rendah kalau berbanding dengan pihak swasta.

Dan untuk maklumat Yang Berhormat, jumlah pesakit hemodialisis ataupun sakit apa ni, buah pinggang dalam negeri Johor, jumlah 6,998, six nine nine eight dengan izin, ok. Dan penempatan yang kita boleh menerima jumlahnya kalau termasuk kira daripada pihak swasta dan kerajaan, jumlah yang kami boleh buat proses dialisis ini, ada 7,517 bererti ia masih cukup menampung. Dalam jawapan saya tadi, bukan pihak kerajaan sahaja yang menerima proses hemodialisis dan juga daripada NGO dan swasta.

So, buat masa kini di bawah statistik yang ada di bawah Jabatan Kesihatan Negeri, kita masih cukup menampung untuk mereka yang perlu menjalani apa ni, proses dialisis. Dan pihak kerajaan kalau, pihak kerajaan akan membuat pertimbangan jika ada keperluan yang mendesak. Bukan pihak kerajaan sahaja, bagi pihak MAINJ mereka juga sentiasa membantu kalau ada keperluan, pihak MAINJ juga akan menyediakan pusat hemodialisis bagi mereka yang perlu. Itu sahaja. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya persilakan sekali lagi Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 14.

Mohon agar kemudahan pembelajaran terutama kerusi dan meja di semua sekolah agama diambil serius bagi memberi keselesaan murid-murid.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmannirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Sedili atas soalan yang diberikan. Yang Berhormat Sedili bertanya tentang kemudahan pembelajaran terutama kerusi dan meja di sekolah-sekolah agama bagi maksud memberi keselesaan kepada murid-murid.

Dewan yang mulia, kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sentiasa peka dan amat prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh Bangsa Johor terutamanya bagi soalan ini, isu-isu berkaitan kelestarian fasiliti dan kemudahan pendidikan termasuklah sekolah agama. Kerajaan negeri amat mementingkan penyediaan fasiliti pembelajaran yang lengkap dan kondusif bagi keselesaan murid-murid agar usaha melahirkan lebih ramai Bangsa Johor yang berpengetahuan dan berpendidikan agama yang tinggi dapat dicapai.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri dengan usahasama jabatan serta agensi yang terbabit telah pun merancang dan melaksana bebeberapa inisiatif bagi menangani kemasahatan yang timbul. Antaranya adalah sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi menambah baik mahu pun menaik taraf fasiliti pembelajaran di sekolah-sekolah agama, setiap tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi tujuan pembelian perabot dan kerusi meja di sekolah-sekolah. Proses permohonan tersebut telah dilaksanakan melalui Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) dan insya-Allah proses sebut harga dan tindakan lanjut akan menyusul dalam masa yang terdekat.

Jumlah sekolah agama dalam negeri Johor yang telah memohon keperluan perabot bagi tahun 2020, adalah sebanyak jumlahnya RM456,960.00 bagi 1,428 unit meja guru dan jumlah bagi tahun 2021 dan 2022 sehingga kini, sebanyak RM999,980.00. Bagi mengatasi masalah kekurangan dan kerosakan perabot, Bahagian Pendidikan Islam mencadangkan agar pihak kerajaan negeri menambah dana dan peruntukan pembelian perabot sedia ada dari RM500,000.00 kepada satu jumlah yang lebih tinggi untuk disalurkan kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Jabatan-jabatan juga berusaha menambah kemudahan prasarana seperti dewan terbuka sekolah-sekolah dan kantin bagi sekolah-sekolah gred C iaitu gred sekolah yang mempunyai murid kurang 500 orang. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Bagus Yang Berhormat Sedili ni, soalan dia termasuk sekali dengan soalan tambahan. Saya persilakan Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 15.

Apakah status Program Johor Go Global dan Program Friendly Johor menerusi Invest Johor?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Kerajaan negeri Johor

berusaha untuk memperkasakan lagi inisiatif menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pelaburan utama. Dalam hal ini, Invest Johor telah pun melaksanakan Program Friendly Johor bagi menyatuni pelabur baharu dan juga pelabur yang sedia ada.

Selain bertujuan untuk memastikan Johor sebagai destinasi mesra pelabur, program ini bertujuan bagi mendapatkan gambaran sebenar industri-industri yang sedia ada di setiap daerah dan juga mendengar taklimat dari pihak berkenaan mengenai sebarang kekangan dan juga perancangan kawasan-kawasan industri serta memperolehi respons yang terus dari pengilang dan pemain industri yang sedia ada mengenai permasalahan yang mereka hadapi. Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan turut akan membuat pembentangan mengenai perancangan di kawasan masing-masing untuk membantu pelabur membuat perancangan serta memperkenalkan inisiatif untuk membantu mereka.

Sehingga Jun 2022, sebanyak 2 sesi libat urus antara kerajaan negeri dan pihak pelabur telah pun dilaksanakan, yang melibatkan 2 buah daerah, Johor Bahru dan juga Kulai. 4 Pihak Berkuasa Tempatan - Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai. Sesi pertama pada 21 April 2022 telah pun dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan kehadiran hampir 250 orang termasuk wakil daripada Consulate General of the Republic of Singapura dan Indonesia di Johor Bahru. British Malaysia Chamber of Commerce, Malaysia Internasional Chamber of Commerce and Industries, Malaysia Dutch Business Council, American Chamber of Commerce, Federation of Manufactures dan lain-lain.

Satu lagi sesi dijangka dilaksanakan akhir bulan ini atau bulan depan bagi daerah Batu Pahat dan juga daerah Muar melibatkan Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbadaran Kluang, Majlis Derah Yong Peng dan Majlis Daerah Simpang Renggam. Bagi Programme Johor Go Global ia merupakan satu usaha menghasilkan kandungan kreatif dan hebahan kempen promosi Digital Negeri Johor dan melibatkan antara lain penerbitan beberapa siri video pendek bagi tujuan informasi, promosi dan kesedaran mengenai penawaran atau pun eko sistem pelaburan di negeri Johor. Turut dalam Perancangan termasuk video korporat baru Invest Johor serta laman web Invest Johor yang lebih berinformatif. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya, jadi sebenar apakah sasaran jumlah pelaburan bagi negeri Johor untuk tahun ini? Selain daripada program-program tadi yang disebutkan apakah strategi yang lain bagi kerajaan negeri supaya matlamat tadi itu dapat dicapai?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Bentayan, dan strategi-strategi kerajaan negeri Johor untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri Johor telah pun saya terangkan pada tempoh hari berkait termasuk penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Negeri Johor, Johor Investment Committee yang dipengerusikan Yang Amat Menteri Besar, termasuk juga kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia dan juga ECER termasuk juga Programme Johor Go Global Friendly Johor serta misi galakan pelaburan. Mengenai sasaran untuk makluman Yang Berhormat Bentayan, pencapaian untuk sektor pembuatan dan perkilangan tahun lepas adalah hampir RM7 bilion dan untuk sektor perkhidmatan adalah RM1 bilion dan untuk tahun ini mengenai kita menurut kepada Pelan Mampan Negeri Johor kita mensasarkan pelaburan dari RM10 hingga RM15 bilion untuk tahun ini. Dan, kita percaya dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama kerajaan persekutuan terutamanya Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) kita akan mencapai sasaran yang ditetapkan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 16.

Nyatakan status naik taraf Zoo Johor termasuk kos naik taraf, jangka masa dan skop kerja-kerja naik taraf.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan ini, suka untuk saya memaklumkan kepada Ahli Dewan, tentang sejarah Zoo Johor yang sudah berusia 94 tahun. Ditubuhkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Almarhum Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1928. Dikenali sebagai Kebun Binatang. Zoo ini merupakan yang tertua di Malaysia. Pada asalnya zoo ini adalah di bawah pentadbiran dan kawalan pihak istana Sultan Johor sebelum pengurusan Zoo Johor diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan negeri pada 1 April 1962. Zoo Johor kini diletakkan di bawah pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan. Rentetan daripada pandemik COVID-19, waktu operasi Zoo Johor telah dihentikan buat sementara sejak 18 Oktober 2020. Lawatan saya pada 12 Jun 2022 yang disertai oleh SUK Kerajaan Tempatan, BPEN, Tourism...

Speaker

Yang Berhormat dah berapa kali pergi?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Saya dah 2 kali Datuk.

Speaker

Saya dah 5 kali.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

(ketawa) MBJB, MBIP dan MPPG ya. Tapi tentang perbincangan sudah dibuat bersama pihak-pihak terlibat dan masih perancangan dan kajian secara menyeluruh akan dimaklumkan kemudian. Terima kasih.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Kalau saya tak salah dengar, ini bermaksud belum ada tarikh untuk buka semula bagi Zoo Johor betul ke? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya, saya memang pun banyak kalilah melawat dengan Zoo Johor dan Zoo Johor ini merupakan tempat pelancongan yang amat digemari oleh Bangsa Johor dan bukan sahaja bagi rakyat Johor saya anggap pelancong dari luar negeri dan luar negara pun turut mereka menunggu-nunggukan pembukaan semula bagi Zoo Johor. Soalan tambahan saya adakah rancangan untuk naik harga tiket sebab kita tahu di mana tiket Zoo Johor merupakan tiket yang paling murah dalam negara ataupun dalam seluruh dunia iaitu RM2.00 sahaja. So, adakah rancangan untuk naikkan harga tiket selepas pembukaan semula bagi Zoo Johor dan adakah penambahan haiwan selepas pembukaan tersebut. Sekian, terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih YB Johor Jaya. Ya, Zoo Johor adalah zoo yang paling rendah bayaran kalau berbanding Zoo Negara, dewasa RM45.00, kanak-kanak RM18.00. Zoo Taiping RM16.00, Zoo Gambang RM28.00, Zoo Melaka RM25.00. Kita cuma bayar RM2.00 sahaja. Temasuk dalam perbincangan YB, bukan itu sahaja termasuk isu-isu piping yang telah lama, isu-isu kandang yang telah uzur itu kita dibincangkan dan kita telah senaraikan semua itu. Dan berita baiknya nak maklumkan alhamdullilah semenjak kelahiran haiwan oleh daripada 2018 hingga 2022 ya, ni baby kita ya, bukan “baby” kita, minta maaf. (Dewan ketawa). Harimau melahirkan satu ekor betina, beruang matahari, 2 ekor; tapir, 2 ekor; rusa bintik, 8 ekor; rusa sambar, 10 ekor; landak, 2 ekor. Maknanya...

Speaker

Kenapa rusa banyak ekor ya? Yang lain 1-2 ekor sahaja,

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Dia ramai dia banyak sikit. Tuan Speaker. Jadi ini bermakna zoo ini telah dijaga dengan baiklah. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, ikan baung masak pedas, soalan Pemanis nombor 17.

Bagaimanakah pemantauan dibuat kepada syarikat-syarikat konsesi yang telah dilantik oleh kerajaan negeri bagi membantu kontraktor tempatan kerana terdapat aduan kontraktor lambat dibayar dan kerap kali kualiti kerja yang diberikan kepada kontraktor ini kualiti kerjanya tidak sempurna dan gagal mengikut spesifikasi.

Speaker

YB EXCO.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Minta maaf saya cari tak jumpa. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat sekalian, kerajaan negeri telah melantik pegawai penguasa bagi setiap konsesi penyelenggaraan jalan. Untuk memastikan syarikat konsesi yang telah dilantik melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna. Sebagai contoh bagi penyelenggaraan jalan negeri, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor telah dilantik sebagai Pegawai Penguasa dan Jurutera Daerah telah dilantik sebagai Wakil Penguasa bagi menyelia projek konsesi penyelenggaraan jalan negeri di negeri Johor.

Bagi memastikan syarikat konsesi melaksanakan tugas dengan sempurna, pemantauan pelaksanaan dan kualiti kerja dipantau dan disahkan oleh Perunding yang dilantik bersama JKR daerah. Sekiranya tidak mengikut spesifikasi maka lapiran ketidakpatuhan atau nonconfirmity report (NCR) akan dikeluarkan dan bayaran tidak akan dibuat sehingga kerja pembaikan tersebut dilaksanakan. Seterusnya setiap arahan kerja yang dikeluarkan jelas menyatakan tarikh mula dan siap setiap kerja. Sekiranya pihak syarikat konsesi lewat menyiapkan kerja sebagaimana tempoh yang ditetapkan, syarikat berkenaan akan dikenakan denda Liquidated Ascertained Damages (LAD). Bagi aduan kelewatan bayaran kepada kontraktor, bayaran kepada syarikat konsesi diproses dalam tempoh tidak lebih 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen tuntutan yang lengkap daripada pihak konsesi. Walau bagaimanapun, kelewatan bayaran oleh syarikat konsesi kepada kontraktor yang dilantik di bawahnya adalah di luar bidang kuasa Jabatan ini. Di samping itu bagi memantau dan mengawas kualiti kerja kontraktor, setiap kontraktor yang memasuki kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri hendaklah mempunyai Sijil Kontraktor Johor yang dikeluarkan oleh Centre Of Construction (JCCD), JCCD sentiasa memantau pemilihan, pelantikan kontraktor, status bayaran kepada kontraktor yang dilantik oleh konsesi, serta pelbagai isu berkaitan syarikat konsesi serta kontraktor di Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya benarkan satu soalan tambahan.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Speaker, tadi ada Yang Berhormat Speaker tentang JCCD yang akan memantau kerja-kerja daripada konsesi ini. Jadi adakah semuia syarikat-syarikat konsesi yang berada dalam negeri Johor ini termasuk syarikat-syarikat yang telah disebut oleh Yang Berhormat Speaker tadi, dipantau oleh JCCD ini dan bagaimana pemantauan ini dibuat dan sejauh mana keberkesanan pemantauan yang telah dibuat JCCD terutamanya mengambil tindakan jika sekiranya kontraktor ini gagal dan juga culas

melakukan kerja-kerja pembaikan yang telah diamanahkan kepada mereka. Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pemanis. Untuk makluman Yang Berhormat JCCD baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2020. Jadi kebanyakan konsesi telah pun ada kontrak ada bersama kita sebelum tahun itu. Iaitu hanya Safwa Global yang setakat ini dikawal selia JCCD tapi walau bagaimanapun, untuk mengambil tindakan dan sebagainya kita masih lagi dalam peringkat cadangan kerana pihak JCCD belum ada lagi punca kuasa untuk melakukan sepertimana cadangan Yang Berhormat tadi. Dan insya-Allah, saya dengan niat baik, dan saya akan pastikan JCCD akan sentiasa diperkasa dan diberikan punca kuasa untuk menilai semua projek yang diberikan syarikat konsesi kepada kontrak dari segi tempoh masa, kualiti dan pembayaran. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.22 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.02 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.22 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat Perbahasan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam perpaduan dan salam maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, barisan Ahli-Ahli EXCO serta Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan sekalian. Alhamdulilah, saya bangun hari ini untuk menyokong titah ucapan diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bersempena Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker yang telah memberikan ruang serta peluang kepada saya sebagai Wakil Rakyat baharu dalam Dewan yang mulia ini untuk menyampaikan ucapan saya. Terutamanya saya ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung kasih, setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Mulia Tuanku merasmikan Dewan yang mulia ini. Ampun Tuanku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Ahli-Ahlil Yang Berhormat daripada sebelah kerajaan dan juga sebelah pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat selepas Pilihan Raya Negeri Yang Ke-15 tempoh hari. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengambil kesempatan juga untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19. Dan lupa juga kepada rakan-rakan yang telah membarisi barisan EXCO kerajaan negeri Johor dan juga kepada Yang Berhormat Rengit yang telah dipilih Speaker Dewan Negeri Johor dan juga kepada Yang Berhormat Semarang yang telah dipilih sebagai Timbalan Dewan Speaker negeri Johor. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Azmi bin Rohani yang telah dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang Di Pertuan Agong tempoh hari.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebaik Pilihanraya Negeri Johor berakhir tempoh hari dan kerajaan negeri dibentuk yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Onn Haffiz bin Ghazi, Johor pada hari ini sudah memasuki penggal politik barunya. Dengan kemenangan besar diraih rakan-rakan Yang Berhormat dari Barisan Nasional, kemenangan ini merupakan mesej yang jelas bahawa rakyat khususnya pengundi di negeri ini mahukan sebuah kerajaan yang mentadbirnya adalah sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh. Kerajaan yang tidak lagi diganggu gugat kedudukannya bahkan boleh menterjemah kerangka dan memiliki hala tuju dasar yang jelas meliputi ruang lingkup politik, ekonomi, pendidikan, keusahawanan, sukan dan anak muda serta kebajikan dan sosial. Saya percaya dan menzahir setinggi-tinggi keyakinan kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar serta seluruh Ahli jawatankuasa EXCO nya untuk memimpin kerajaan serta membawa keluar negeri ini dari belenggu bebanan ekonomi yang antara lain disebabkan suasana ketidakstabilan politik sebelum ini serta impak pandemik COVID-19 yang begitu menghambat sara hidup rakyat. Mandat 2/3 yang diberikan rakyat Johor kepada kerajaan ini seiring iltisam kita semua untuk terus memberikan sepenuh daya dan tenaga untuk menabur bakti kepada rakyat. Genggamlah erat titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, berhentilah sesama kita dari mencari salah masing-masing dan berbalah tanpa sudah kerana pastinya rakyat juga yang akan rugi.

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri atas inisiatif mengagihkan bantuan kampit beras 10 kilogram menerusi Program Bantuan Kasih Bangsa Johor kepada seluruh rakyat termasuklah di kawasan Parit Yaani. Pujian juga harus diberi buat Southen Volunteer (SV) yang terbukti bekerja keras dan bertungkus lumus dalam mengedarkan bantuan kampit beras ke setiap rumah penduduk. Di peringkat DUN Parit Yaani, agihan beras sudah berjaya diselesaikan. Terima kasih diucapkan kepada Majlis Daerah Yong Peng, penghulu dan ketua-ketua kampung yang membantu sama. Pagi-pagi menjamah ubi, kalau ada berilah lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai negeri yang mempunyai kedudukan strategik di Asia, di samping memiliki potensi ekonomi yang luas dan bersempadanan pula dengan Singapura, Johor mesti merebut segala peluang ekonomi yang ada termasuklah kemasukan pelabur serta limpahan pembangunan yang mahu dibawa dan direncana untuk Malaysia. Kemajuan ini termasuklah rancangan projek pembangunan infrastruktur seperti high speed rail atau kereta api laju serta penambahbaikan atau naik taraf kemudahan jaringan lebuh raya sedia ada. Menerusi cadangan kerja-kerja pelebaran laluan Lebuh Raya PLUS (PLUS high way) yang pernah dibincangkan sebelum ini, saya ingin tahu, apakah perkembangan dan status terhadap perancangan setakat ini? Ini termasuklah perancangan untuk membina satu lagi laluan susur keluar masuk PLUS atau exit toll, antara laluan Pagoh dan Yong Peng. Lebih terperinci iaitu membabitkan penambahan satu lagi laluan susur keluar masuk ke Parit Sulong. Apakah kekangan yang menyebabkan rancangan pembangunan ini masih tidak dapat dijayakan hingga kini? Adakah ia berkaitan masalah tanah serta nilai pampasannya iaitu di bawah tanggungjawab kerajaan negeri atau sumber peruntukan kewangan yang terhad dari kerajaan pusat? Mohon diperincikan.

Yang Behormat Datuk Speaker, jika laluan susur masuk baharu ini dapat disediakan, ia sudah pastinya akan memberi banyak manfaat selain memendekkan tempoh perjalanan pengguna jalan raya dari arah utara dan selatan. Paling mendapat manfaat sudah pastinya adalah penduduk di kawasan DUN Parit Yaani, kawasan Yang Berhormat Sri Medan dan juga Yang Berhormat Semerah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat beberapa cadangan atas pun syor daripada Parit Yaani, pertamanya, dalam usaha untuk merancakkan pembangunan sukan khususnya yang membabitkan sukan permotoran, saya mencadangkan supaya satu hab permotoran Batu Pahat dibina di kawasan DUN Parit Yaani. Rancangan pembangunan hab sukan ini boleh

dilaksanakan di atas tanah seluas 200 ekar yang sememangnya sudah tersedia di kawasan ini. Pembinaan hab permotoran Batu pahat ini sudah pastinya akan merancakkan lagi aktiviti sukan permotoran membabitkan belia tempatan, bukan sahaja di daerah Batu Pahat bahkan meliputi daerah-daerah lain serta kawasan Dewan Undangan Negeri sekitarnya. Sekiranya perkara ini berlaku, ianya dijangka boleh menarik minat pengunjung dari negeri lain termasuklah daripada Singapura untuk menjalankan aktiviti permotoran. Maka, tak adalah isu orang Singapura lalu sahaja di negeri Johor ini sebagaimana Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tempoh hari.

Dalam pada itu Yang Berhormat Speaker, isu harga rumah yang tinggi sehingga sukar dimiliki khususnya oleh anak muda, sudah menjadi isu yang berpanjangan dan ia masih tidak diselesaikan dengan tuntas. Justeru, saya memanjangkan cadangan kedua supaya dibangunkan juga satu kawasan perumahan baharu di kawasan Parit Yaani. Rancangan pembangunan ini mestilah menyediakan segmen Rumah Mampu Milik Johor yang akan dinikmati masyarakat setempat. Rumah adalah keperluan utama bagi rakyat ketika ini. Ramai di kalangan anak muda khususnya yang berada di Parit Yaani masih bergelut untuk membina rumah dan memiliki kediamannya sendiri. Antara kekangan termasuklah kesukaran untuk mendapatkan kelayakan maksimum bagi pinjaman bank yang disebabkan harga rumah sedia ada khususnya di bandar-bandar terdekat sudah mencanak naik. Adalah penting pembinaan projek rumah mampu milik ini digandakan dan dilaksanakan pada kadar segera khususnya yang membabitkan keperluan bagi kawasan Parit Yaani supaya anak muda kita akan dapat memiliki asetnya sendiri sekaligus mengelak dari mereka terus menanggung sewaan, kos sewaan yang tinggi setiap bulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat juga beberapa masalah projek sakit di Parit Yaani. Pertama adalah projek pembangunan pembinaan Sekolah Menengah Suria Jaya Parit Yaani yang sepatutnya siap pada tahun 2015. Kita dimaklumkan kontraktor asalnya sudah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2018 dan sehingga kini sekolah itu masih belum dapat dibuka disebabkan masih ada baki sebanyak 3% sahaja kerja yang belum dapat diselesaikan. Sehingga kini, masih belum ada tanda-tanda untuk melantik semula kontraktor baharu atau pun kontraktor penyelamat. Untuk makluman, di kawasan saya hanya terdapat satu sahaja sekolah menengah. Ramai pelajar tempatan terpaksa bersekolah jauh di Yong Peng dan juga Tongkang Pechah. Saya amat berharap agar projek ini dapat diselesaikan segera memandangkan tahap keperluan projek ini adalah sangat kritikal dan mendesak.

Yang keduanya, masalah aliran trafik di persimpangan Kampung Mindu. Saya juga berharap supaya isu kesesakan khususnya di lampu isyarat persimpangan Kampung Mindu dapat diselesaikan kerana laluan dua lorongnya ada ketika ini masih tidak mencukupi atau sesuai untuk menampung jumlah pergerakan kenderaan yang tinggi pada setiap masa dan salah satu puncanya adalah yang mana projek jalan bypass Peserai ke Parit Jalil yang masih belum disiapkan. Selain itu, saya juga mencadangkan agar dinaik taraf jalan Tongkang Pechah ke Batu Pahat daripada dua lorong kepada empat lorong termasuklah pelebaran jambatan Kampung Mindu serta saliran di kawasan kiri dan kanan jalan tersebut.

Dalam pada itu juga, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membangkitkan mengenai cadangan pembinaan masjid baharu di Bandar Putera Indah Tongkang Pechah. Difahamkan jawatankuasa sudah ditubuhkan, jawatankuasa pembinaan sudah ditubuhkan pada tahun 2018 iaitu sebelum Pilihanraya Umum Ke-14. Pelan pembangunannya juga sudah diserahkan pada Pejabat Agama Batu Pahat. Pembinaan masjid ini sangat penting dan menjadi keperluan kira-kira 5,000 jemaah yang berada di sekitar kawasan itu.

Di Tongkang Pechah juga terdapat cadangan untuk membangunkan mini komplek sukan di Sekolah Menengah Tengku Putera. Cadangan pembangunan juga sudah dalam makluman Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat. Saya berharap pembinaannya dapat disegerakan

memandangkan ia akan digunakan bagi menampung keperluan murid di sekitar daerah Batu Pahat untuk menjalankan aktiviti sukan khususnya sukan sekolah-sekolah di peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah yang kini terpaksa menyewa di padang Universiti Tun Hussien Onn Malaysia Parit Raja. Di sini, saya juga mencadangkan agar komplek sukan itu nanti dapat dijadikan sebagai Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim bagi daerah Batu Pahat. Pembangunan Akademi Bola Sepak JDT ini adalah bagi membantu anak-anak muda di sekitar Batu Pahat untuk terus menyokong pasukan Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sekian perbahasan daripada saya. Dengan ini saya mohon untuk menyokong, terima kasih (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum itu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada pemerhati yang hadir pada hari ini. Pertama, pemerhati daripada kawasan DUN Machap seramai 20 orang (Dewan bertepuk). Pastikan Yang Amat Berhormat Machap sediakan makan tengah hari istimewa, Insya-Allah. Yang kedua, Ketua Pemuda Bahagian Ayer Hitam, Ketua Pemuda Kulai dan Setiausaha Pemuda Mersing (Dewan bertepuk). Yang ini YB Semarang akan belanja makan. Silakan Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Datuk Speaker kerana peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan Titah Tuanku. Ampun Tuanku, Stulang mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi terima kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini. Dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Saya juga ingin merafak sembah tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja Johor.

Selepas PRN Johor, 56 Wakil Rakyat baharu telah dipilih dan mandat juga diberikan kepada Menteri Besar dan barisan EXCO yang baharu untuk mentadbir negeri ini, tahniah diucapkan. Tahniah juga kepada Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi atas pelantikan sebagai Speaker Johor dan tahniah juga diucapkan kepada SS Johor yang telah dikurniakan dengan darjah gelaran Tan Sri. Tahniah, cukup besar. Jadi, harapan kita adalah barisan pimpinan akan membawa Johor ke landasan yang memacu kemajuan dan kami sebagai ADUN bukan kerajaan akan membantu. Untuk memperkasakan peranan Dewan ini, kepercayaan sesama sendiri dan sikap by partisan patut diamalkan agar segala cadangan membina atau percambahan fikiran yang membantu kreatif boleh diterapkan oleh kerajaan negeri dalam pentadbiran dan perancangan. Titah Tuanku yang menyarankan kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama bagi menarik lebih banyak pelabur menunjukkan betapa pentingnya semangat kerjasama di antara kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat menyambut baik pembukaan sempadan Malaysia – Singapura. Rakyat mengimpikan pemulihan ekonomi setempat Johor Bahru dan Johor secara keseluruhannya. Maka, pengurusan sempadan di CIQ BSI, CIQ KSAB menanggung tanggungjawab yang cukup berat dalam fasilitasi aliran keluar masuk Malaysia-Singapura. Ini adalah kerana aliran orang akan semakin meningkat dan misi mengawal dan mengatasi kesesakan apabila aliran adalah orang ramai atau pada waktu puncak adalah kritikal. Rakyat boleh menerima keadaan sempadan yang sibuk tetapi tidak mahu melihat sempadan yang sesak, boleh sibuk tetapi tidak boleh sesak. Lebih-lebih lagi dalam era pandemik dan endamik ini, kesesakan di tempat awam merupakan satu fenomena yang perlu dielakkan untuk mengawal penularan sebarang wabak yang berkemungkinan. Justeru itu, pendapat Stulang berkenaan dengan CIQ dan pengurusan sempadan ialah, di sini ada 16, ya saya akan perincikan satu persatu dan saya rasa banyak juga yang telah pun tengah diperbincangkan dan di sini ada 16 untuk saya cuba perhalusi dengan semua Ahli Dewan ini.

Yang pertama, pembukaan kaunter dan kerahan tenaga yang lebih untuk memenuhi jumlah aliran orang yang semakin ramai sama ada laluan kereta atau di laluan bas. Ini merupakan satu cabaran yang besar dan saya cukup yakin Jabatan Imigresen boleh uruskan dan atasi dengan baik. Saya yakin Jabatan Imigresen boleh uruskan dan atasi dengan baik.

Kedua, yang ini pun ada kaitan dengan Jabatan Imigresen juga. Mempercepatkan permohonan MACS (Malaysia Automatic Clearance System) agar mesin MACS yang sedia ada boleh digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menolong meringkaskan prosedur clearance rakyat asing. Dalam mesin sekarang dekat CIQ sudah ada dan kerana permohonan masih lambat lagi, ramai yang belum dapat lagi, jadi sekarang mesin itu masih underutilize. Kalau ini boleh dipercepatkan, boleh menyalurkan sebahagian penumpang ke sana.

Ketiga, memandangkan passport, mencadangkan agar passport orang asing yang meninggalkan CIQ, BSI dan KSAB tidak perlu lagi di endorsed atau choped. Ini selain meringankan bebanan kerja pegawai Imigresen, ia juga mempercepatkan proses clearance secara keseluruhan dan ini akan mengelakkan kesesakan. Keadaan ini telah lama dipraktikkan di banyak negara lebih-lebih lagi apabila kita akan menggunakan teknologi imbas scan sahaja sekarang.

Keempat, ini saya rasa tengah dalam proses. Di bangunan CIQ, BSI laluan kereta inbound untuk laluan kereta yang sentiasa sesak juga. Kerja penggabungan kaunter Imigresen, JKR untuk Tol Plus dan JPJ untuk road charge perlu disiapkan segera juga. Perkara ini telah pun dibangkitkan saya rasa 3 hingga 4 tahun, saya rasa dah tengah dalam proses, ini bagi memastikan prosedur clearance dapat diselesaikan dengan lebih efisyen dan menjimatkan masa.

Kelima, Stulang menjangkakan bilangan kereta yang memasuki CIQ, BSI akan bertambah. Masalah ketidakcukupan kredit dalam kad Touch N Go masih belum selesai. Jadi kaedah pemasangan RFID masih belum menyeluruh maka saluran pembayaran yang menerima kad pembayar yang lebih banyak atau universal perlu diterapkan untuk mengatasi masalah pembayaran di dalam bangunan CIQ, BSI.

Keenam, perkhidmatan KTM Tebrau Shuttle Malaysia – Singapura telah dipulihkan baru-baru ini dan ini akan mampu menyuraikan atau menyalurkan sebahagian penumpang ke laluan keretapi. Tahniah, dan ini disambut baik oleh masyarakat. Diharapkan frekuensi harian kereta di tapak ditambah melalui rundingan dua hala antara kerajaan Singapura memandangkan permintaan ini akan bertambah pada masa akan datang. Jadi rundingan perlu dilakukan. Dan tahniah juga kerana perkhidmatan KTM shuttle Tebrau telah pun dipulihkan.

Ketujuh, ini penting juga, berkenaan dengan perkhidmatan bas awam. Amat mengharapkan rundingan dua hala dengan kerajaan Singapura agar bas awam boleh beroperasi 24 jam di Tambak. Iaitu sama ada bas awam Singapura atau Malaysia boleh keluar masuk Malaysia-Singapura 24 jam. Ini boleh menyuraikan pengguna Tambak ke masa bukan puncak. Sekarang bukan 24 jam.

Kelapan, perkara-perkara dalam TWG iaitu, Technical Working Groups iaitu Jawatankuasa Teknikal yang telah ditubuhkan pada tahun 2019 harus diteruskan dan dilaksanakan secepat mungkin.

Kesembilan, whole located CIQ, iaitu pegawai Imigresen, ICS Singapura berada di satu bangunan yang sama untuk clearance, inbound dan outbound.

Kesepuluh, ini pun telah pun lama diperbincangkan, agensi tunggal untuk CIQ atau coordinated CIQ antara setiap agensi yang terlibat dalam bangunan CIQ perlu diterapkan agar mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran sempadan di mana respon yang cepat adalah satu keperluan.

Kesebelas, ini ada kaitan dengan kerajaan negeri. Kerajaan negeri boleh buat. Memperkenalkan Sistem E-permit untuk eksport galian bagi membolehkan lori-lori yang mengangkut galian eksport mempunyai pilihan untuk keluar pada waktu malam atau bukan waktu puncak. Ini boleh menyuraikan atau menyalurkan sebahagian lori untuk keluar pada masa berlainan. Kerana pada masa sekarang pegawai PTG hanya ada di CIQ pada waktu pejabat. Kalau ada E-permit maksudnya waktu malam, pegawai PTG tak perlu berjaga ke sana, mereka boleh keluar ke Singapura.

Kedua belas, untuk jangka masa yang panjang, kawaselia sempadan mesti lebih efisyen, selamat. Data yang dikutip kew setiap Jabatan di CIQ perlu dikongsi. Perkongsian data akan memacu kepada kegunaan big data dan artificial intelligence dalam kawal selia sempadan. Penggunaan data dan AI ini akan membantu pusat atau negeri membuat keputusan yang bijak pada masa yang akan datang berpandukan konsep machine learning. Dan ini adalah satu trend, kerana banyak data-data yang penting dan tepat dikutip di CIQ. Kalau data ini semua boleh digabungkan, dikongsi maka kita boleh pakai artificial intelligence dan machine learning dan big data.

Ketiga belas, bil elektrik untuk bangunan CIQ, BSI dan JB Sentral dijangka adalah sekitar RM2 juta sebulan. Kalau saya tersilap, tolong perbetulkan saya. Jadi adalah dicadangkan pemasangan solar panel di bumbung CIQ untuk menjimatkan kos tenaga elektrik. Bayangkan, satu bulan RM2 juta, satu tahun RM24 juta. Ini tidak mengambil kira penggunaan yang akan meningkat pada masa akan datang.

Keempat belas, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki di Tambak Johor adalah baiknya sekiranya dapat persefahaman dari pihak Singapura agar laluan ini boleh menghubungkan CIQ bermula di checkpoint dan bukannya hanya, bukan hanya berhenti di tengah tempat sahaja. Ia adalah perlu sebagai pelengkap kepada kepelbagaian mod perhubungan di Tambak. Kita ada RTS pada masa akan datang, bas, kereta, motorsikal dengan tambang yang berlainan, manakala jalan kaki adalah percuma. Jadi saya rasa projek ini masih dalam peringkat kajian kot. Tapi ini pun telah lama diperbincangkan.

Yang kelima belas dan keenam belas adalah berkaitan dengan tol dan road charge. Ada berkaitan dengan duit.

Kelima belas, kutipan tol plus di Tambak Johor adalah puluhan juta setahun. Selain digunakan untuk penyelenggaraan Tambak, saya cadangkan sebahagian baki atau sekurang-kurangnya 50% baki juga perlu disalurkan kepada kerajaan untuk penyelenggaraan atau penambahbaikan setiap agensi lain yang berkaitan di bangunan CIQ. Memandangkan PLUS telah lama mengutip tol di Tambak Johor dengan anggaran kutipan berjumlah puluhan juta antara 30 hingga 50 tahun, RM30 juta hingga RM40 juta setahun sebelum COVID. Kalau saya tersilap tolong betulkan. Jadi adalah tidak keterlaluan sekiranya PLUS melihat sumbangan ini sebagai satu CSR.

Keenam belsa, ini pun ada dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang. Kutipan road charge oleh Kementerian Pengangkutan juga patut disalurkan kepada kerajaan negeri agar peranan kerajaan negeri dalam membantu usaha kawal selia sempadan dan pemerkasaan pengangkutan awam akan lebih berkesan. Pada pendapat saya, 25% untuk negeri Johor adalah tidak memadai.

Jadi patik juga ingin merafak sembah Tuanku atas keprihatinan Tuanku berkenaan dengan keadaan CIQ. Terima kasih juga kepada Menteri Besar di atas keprihatinan beliau dalam isu sempadan. Walaupun isu kawal selia sempadan ini adalah di bawah bidang kuasa persekutuan, tetapi Stulang berpendapat kerajaan Johor boleh ambil langkah yang proaktif dan berperanan sebagai pelengkap untuk sama-sama menambah baik pintu masuk dengan lebih berkesan untuk kebaikan rakyat dan imej negara. Lebih-lebih lagi sempadan Malaysia-Singapura memberi impak ekonomi yang cukup penting untuk Johor Bahru dan Johor. Demi memperkukuhkan komitmen Dewan kita berkenaan dengan isu sempadan, kerjasama Johor-Singapura serta penambahbaikan bangunan CIQ, Stulang menyokong penuh cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Johor – Singapura untuk mengkaji dasar dan pendekatan untuk menambahbaik infrastruktur, kesesakan lalu lintas, perhubungan ekonomi di antara Singapura dan Johor.

Saya rasa, sekadar memperdebatkan isu sempadan yang ada di negeri Johor oleh kerajaan persekutuan sahaja adalah tidak memadai kerana kita semua di sini harus mengambil bahagian secara lebih komited dan bertungkus-lumus kerana sempadan berada di Johor. Kita patut bertungkus-lumus membincangkan, memperhalusi, memikirkan, mencadangkan hala tuju berkenaan dengan sempadan kita, barulah persekutuan dan kerajaan negeri ada chemistry dalam isu kawal selia sempadan yang ada di negeri ktia sendiri. Kalau tidak ada chemistry tidak akan mendatangkan hasil yang menggalakkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini saya juga selain mengutarakan isu sempadan, saya juga ingin mengemukakan beberapa isu berkenaan dengan portfolio kemudahan asas dan pangsapuri PPR yang berkaitan dengan portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jadi Stulang ingin menarik perhatian Dewan dengan masalah kemudahan asas di pangsapuri kos rendah di Johor. Mereka yang tiada rumah atau berpindah dari setinggan mengharapkan kediaman di pangsapuri yang lebih kondusif. Stulang ingin mengambil contoh perumahan pangsapuri di DUN Stulang sebagai rujukan, Flat Desa Melayu, Desa Jaya, Hajah Hasnah, saya rasa banyak pangsapuri di Johor menghadapi masalah-masalah yang sama.

Yang pertama, lif sentiasa rosak. Ini yang sentiasa berlaku. Saya ambil contoh kalau di Flat Desa Melayu, kalau di Blok A, 3 lif, 1 boleh pakai. Blok B, 3 lif, 2 boleh pakai. Yang dua ini kadang-kadang alternate, rosak. Untuk flat Desa Jaya, semua rosak. Semua tak boleh pakai. Untuk Flat Hajah Hasnah, Blok A, 3 lif, 1 boleh pakai. B, 3, 2 boleh pakai. 2 sentiasa rosak juga, alternate. Untuk Blok C, 2 sahaja boleh pakai. Dan Blok D pun, 2 yang boleh pakai.

Perkara ini memang merunsingkan penduduk. Lif ini memang merunsingkan penduduk. Penduduk merungut, perlu tunggu lebih 10 minit untuk naik lif. Orang tua dan kanak-kanak, tunggu lama. Ada yang mengangkat kerusi roda turun tangga untuk jumpa doktor semata-mata tak nak tunggu lif. Keadaan lebih meruncing lagi waktu pergi kerja, balik kerja ramai yang beratur tunggu lif. Walaupun kos penyelenggaraan agak tinggi, tapi saya rasa lif ada sesuatu yang membebankan tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak diperbaiki.

Selain lif, hose Bomba di pangsapuri kerana kadang-kadang saya tengok cukup sedih, telah dijadikan tempat membuang sampah. Ini cukup bahaya apabila kebakaran. Main hole tersumbat. Penutup main hole rosak dan pecah. Saya nampak sendiri najis terapung-apung. Main hole juga tersumbat menjadikan air bertakung di sekeliling menjadikan pembiakan nyamuk seterusnya mengakibatkan pembiakan demam denggi. Paip kumbahan di flat di atas bocor dan pecah.

Speaker

Yang Berhormat, tingga 3 minit sahaja lagi.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Baik, bolehlah. Air, bilik yang menjadikan tempat flat menjadi kotor. Pejabat atau bilik di kawasan common area, tidak dipakai atau tidak diurus dengan baik. Banyak sampah, barangan lama di situ, pintu rosak, tertanggal, tingkap pecah, kaca tingkap pecah, yang masih ada di situ, tajam dan berbahaya, ada. Kemudahan permainan kanak-kanak juga rosak, terkopek, bucu tajam, bahaya. Hak milik strata pun belum dapat lagi dan saya rasa kerajaan boleh memainkan peranan dalam memastikan hak milik strata daripada pemaju. Jadi saya memohon pihak berkuasa boleh melihat dan menyelesaikan masalah tersebut. Untuk Flat Desa Jaya ada ratusan unit, dia 60 rumah sahaja yang diduduki. Jadi, saya mencadangkan Flat Desa Jaya akan dijadikan flat skim sewa beli kerana unit yang dijual boleh dibuka untuk skim sewa beli. Ini boleh meningkatkan jumlah penduduk di kawasan tersebut. Kalau tidak ada penduduk, kerja penyelenggaraan menjadi rumit. Jadi saya bolehlah kalau saya menjemput YB EXCO untuk sama-sama meninjau bersama-sama selepas Persidangan ini, supaya kita boleh memperbaiki kemudahan asas di pangsapuri ini demi menjamin kesejahteraan hidup.

Akhirnya, satu isu yang berkaitan dengan PBT adalah lesen perniagaan PBT. Berkenaan dengan lesen pembaharuan perniagaan PBT, sering kali pemegang lesen terlepas pandang dan gagal memperbaharui lesen selepas tamat tempoh atas sebab terlupa, sibuk atau keadaan semasa yang tidak terkawal. Ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada diri para peniaga sendiri bahkan juga menambah beban kerja pentadbiran PBT. Apabila para peniaga terpaksa mengemukakan permohonan baharu. Lantaran itu, Stulang mencadangkan agar para peniaga kategori berisiko rendah diberi pilihan atau option untuk memperbaharui lesen mereka dengan tempoh sah laku 2 tahun, 3 tahun atau 5 tahun dan bukannya setahun sahaja. Bagi PBT, beban pentadbiran dikurangkan, yuran lesen juga didahulukan, bagi peniaga mereka tak payah pening setiap tahun. Ini merupakan satu jalan penyelesaian yang win-win. Sebagai contoh, lesen SSM, lesen memandu juga memberi option untuk pembaharuan dengan tempoh sah laku yang melebihi 1 tahun. Saya berharap perkara ini boleh diperhalusi.

Jadi, kesimpulannya, kita sama-sama memikul tanggungjawab dengan memainkan peranan masing-masing. Saya telah utarakan isu berkenaan dengan hala tuju, kawal selia sempadan, isu kemudahan asas perumahan pangsapuri serta isu-isu pelesenan PBT. Saya berharap kerajaan boleh menerapkan cadangan-cadangan tersebut dan akhirnya saya menyokong Rundingan Menjunjung Titah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih, Stulang. Saya persilakan Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam maju Johor. Terima kasih pada Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya, Tanjung Surat merakamkan setinggi penghargaan kerana diberi peluang untuk berucap pada hari ini. Dengan rasa hormat dan penuh takzim, marilah kita semua merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah DYMM Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Johor Yang Ke-15 pada 16 Jun yang lalu.

Saya merafakkan kesyukuran terhadap hadrat Allah SWT kerana dengan izinnya saya berada di sini dalam Dewan yang mulia ini menjadi wakil kepada rakyat DUN Tanjung Surat. ini merupakan jawapan pertama saya selaku Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Tanjung Surat. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Machap kerana telah dipilih menjadi Menteri Besar Johor. Tahniah kepada seluruh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah terpilih untuk memikul tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing. Dengan barisan pimpinan yang baru ini membuktikan bahawa DYMM Tuanku Sultan mendengar denyut nadi rakyat. Menghargai dan mempercayai kebolehan orang muda. Tahniah juga

kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Dewan Negeri Johor terutama daripada Barisan Nasional.

Sekarang adalah misi dan masa untuk kita semua bekerja sama-sama kita pastikan segala visi dan misi untuk negeri dan Bangsa Johor dapat direalisasikan terutama hasrat untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju 2030. Saya boleh umpamakan gabungan kerajaan yang sekarang ini merupakan gabungan yang terbaharu yang terbaik. Kita boleh umpamakan seperti memacu sebuah kenderaan di mana yang gagah, yang muda dan tahan lama ini dijadikan pemandu. Namun jangan lupa pada yang lama dijadikan kepada pembantu kepada pemandu. Jika pemanduan itu terlalu laju, ditegur supaya diperlahankan. Jika masih perlahan ditegur supaya dilajukan dan apabila berlaku ada halangan di hadapan, tegurlah pemandu ini supaya berhati-hati di jalan raya.

Speaker

Orang tua lagi laju bawa kereta Yang Berhormat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Tak boleh. Saya juga menjemput yang di seberang sana juga masuk bersama dalam kenderaan yang ada tetapi duduk sahaja diam di belakang dan tidur dengan lena sehingga menuju ke destinasi. Alhamdulillah, negeri kita perlahan-lahan menuju ke arah pemulihan ekonomi selepas COVID-19. COVID-19 yang melanda dunia telah memberi kesan buruk kepada negara dan negeri kita terutama dalam aspek ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pelaburan Langsung Asing (FDI), kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pertumbuhan ekonomi dan semua petunjuk makro ekonomi merundum ke tahap yang paling teruk dalam sejarah.

Kini, kita sudah pun mempunyai kerajaan yang stabil. COVID-19 juga beransur hampir lenyap dan sempadan antarabangsa di negeri ini juga telah dibuka. Saya merasakan, sekarang adalah waktu terbaik untuk kita mengorak langkah menjadikan Johor sebagai kuasa besar ekonomi. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz atas pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor. Di bawah pakej bantuan yang bernilai RM144.38 juta ianya akan memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Johor meliputi semua lapisan masyarakat dan setiap sudut ekonomi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, 2022 merupakan tahun kesepuluh revolusi kejayaan bolasepak JDT. Tidak perlu saya ceritakan lagi pencapaian-pencapaian JDT. Sejarah demi sejarah telah tercipta. Kita masih segar dengan kejayaan yang paling bermakna pada tahun ini di mana Kelab JDT berjaya muncul layak ke pusingan kalah mati Asia Champion League. Kejayaan dan pencapaian, pengiktirafan kepada Kelab JDT membuatkan Bangsa Johor merasa bangga. Kelab JDT merupakan identiti yang menjadi kebanggaan Bangsa Johor. Semua ini adalah hasil pengorbanan usaha seorang insan yang hebat yang berjiwa besar, yang mempunyai visi yang tinggi. Siapakah insan tersebut? Tidak lain dan tidak bukan, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor. Tanjung Surat juga menjunjung DYMM Tuanku Sultan Johor yang bertitah agar DYAM Pemangku Raja terus menerajui dan mengendalikan pasukan bolasepak JDT bagi memartabatkan sukan bolasepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti kita semua sedia maklum had umur untuk mengundi telah diturunkan dari 21 kepada 18 tahun. Dan ia mula dilaksanakan pada PRN Johor baru-baru ini. Dalam hal ini, saya sangat bersetuju dengan titah DYMM Tuanku bahawa had umur minimum untuk layak menjadi calon yang bertanding atau Dewan Negeri adalah masih kekal 21 tahun. Anak muda yang berumur 18 tahun, mereka baharu sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia, SPM dan sedang sibuk mencari maklumat mengenai haluan hidup SPM. Waktu 18 hingga 21 merupakan prime time, dengan izin, untuk mereka belajar dan menentukan hala tuju dan masa depan diri mereka. Ketika ini, ramai antara mereka yang masih terkapai-kapai dan masih lemah untuk membuat keputusan sama ada untuk

melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, matrikulasi atau tingkatan 6. Hal seumpama itu pun masih sukar untuk membuat keputusan dan masih dipengaruhi oleh ibu bapa inikan pula untuk menjadi pemimpin di Dewan yang mulia ini. Dewan Negeri Johor bukan tempat untuk bereksperimen dan bukan tempat untuk diuji kaji. Saya tidak menidakkan hak anak muda 18 tahun untuk menjadi calon tetapi adalah lebih baik jika waktu ini dimanfaatkan sebaliknya untuk menimba pengalaman terlebih dahulu. Dari segi idea, pendapat dan intelektual mereka memang bagus namun dari segi pengalaman politik mereka masih kurang. Justeru, pada hemat saya mereka harus menimba pengalaman politik dalam dunia sebenar politik terlebih dahulu sebelum layak menjadi calon.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai Ahli Dewan Negeri yang masih lagi belia, sudah tentu saya bercakap dan memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan pembangunan belia atau orang muda Johor. ‘Belia Bangsa Johor’, itulah laungan keramat belia-belia negeri Johor. Belia sangat dekat di hati saya. Saya juga lahir dari kepimpinan belia. Belia Bangsa Johor merupakan golongan belia yang paling bertuah di Malaysia kerana dinaungi oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja. Belia Bangsa Johor juga antara beliau yang paling ke hadapan dan aktiviti kesukarelawanannya dengan tertubuhnya Southern Volunteers. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas inisiatif pelaksanaan sekolah kepimpinan dalam usaha melahirkan belia terbaik bangsa yang berteraskan 5 modul. Iaitu pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, sukan dan rekreasi dan kesukarelawanan. Saya menyeru kepada orang muda Johor agar bersifat lebih proaktif dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti belia. Kita kena buktikan bahawa Belia Bangsa Johor ini lain dari yang lain. Di Johor kita ada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan, NGO, seperti Institut Dato’ Onn, Southern Volunteers, Dewan Muda Johor, Strategik Modal Insan, Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia FELDA Malaysia, JOYDEC, Majlis Sukan Negeri Johor, Persatuan Mahasiwa Anak Johor dan banyak lagi. Jadi, dimanfaatkanlah sepenuhnya oleh orang muda Johor. Saya ingin majukan kepada kerajaan negeri Johor untuk menyeru kelab-kelab dan persatuan belia di luar sana agar memperbanyakkan program-program kebajikan dan program yang dapat membantu meningkatkan soft skills dengan izin terutamanya dalam bidang kepimpinan. Belia juga perlu menjadi agen untuk menjayakan aktiviti dan polisi-polisi kerajaan negeri. Insya-Allah belia Bangsa Johor akan menjadi belia kalis cabaran, belia yang boleh menghadapi apa sahaja cabaran dan ketidaktentuan.

Perkara kedua yang saya ingin sentuh, iaitu berkenaan kebajikan orang muda Johor. Apabila kita berbicara tentang kebajikan orang muda, saya lebih suka untuk membincangkan perkara-perkara yang dapat menjamin orang muda untuk terus sustain, dengan izin dalam kehidupan mereka pada masa akan datang. Saya lebih gemar membincangkan pendekatan-pendekatan untuk melahirkan orang muda yang kalis cabaran, lebih-lebih lagi di dalam dunia masa kini yang penuh dengan ketidaktentuan. COVID-19 sebenarnya seolah-olah wake up call, dengan izin untuk kita semua terutama kerajaan untuk memikirkan usaha-usaha kreatif untuk menyediakan orang muda yang kalis cabaran namun bersedia menghadapi ketidaktentuan terutama ketidaktentuan ekonomi. Jika peluang di depan mata ambillah peluang. Jika peluang itu sedikit rebutlah peluang dan jika tiada peluang ciptalah peluang. Inilah semangat atau spirit yang perlu ada dalam diri orang muda.

YB Datuk Speaker, saya ingin mengajak orang muda Johor sekalian untuk melihat bidang baharu yang hangat diperkatakan iaitu ekonomi gig, yakni GIG economy. Ekonomi GIG sudah tidak asing lagi di Malaysia walaupun baharu beberapa tahun konsep ini diperkenalkan di Malaysia. Ekonomi GIG mengambil perkembangan yang sangat pantas. Malaysia kini mempunyai kira-kira 4 juta pekerja sambilan atau freelancer, dengan izin dan jumlahnya semakin meningkat dari hari ke hari. Penerimaannya di Malaysia dan Johor khususnya menunjukkan satu perkembangan positif dan mampu menyumbang peratusan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Malah, dengan pengumuman Yang Berhormat Menteri Pengangkutan semalam bahawa had umur e-Hailing

diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun berdasarkan perkembangan pantas sektor ekonomi GIG akan membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak muda menjana pendapatan.

Ramai yang salah faham, ekonomi GIG ni tidak hanya tertumpu kepada pekerja-pekerja sambilan seperti pembawa food panda, pembawa grab malah konsep ekonomi GIG ini sebenarnya lebih besar. Saya juga menyeru orang muda di luar sana untuk meneroka usaha-usaha untuk menjadikan syarikat penyedia perkhidmatan dalam ekonomi GIG. Mohon juga di peringkat kerajaan negeri Johor membantu orang-orang muda dalam segi perkhidmatan ekonomi GIG.

Malah kita seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 yang mengakibat berjuta orang hilang pekerjaan. Banyak syarikat tutup operasi, sebaliknya sektor ekonomi GIG mencatatkan perkembangan yang pesat. Kerajaan negeri sewajarnya memberikan perhatian yang lebih kepada sektor ekonomi yang baharu ini terutama dalam menyediakan bantuan-bantuan dan pakej rangsangan untuk menarik orang muda menceburi bidang ini. Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor kerana peka dan cakna dengan perkembangan sektor ekonomi GIG dengan memperuntukkan sebanyak RM3.54 juta untuk memberi bantuan sebanyak RM300 One-Off kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini melalui Bantuan Kasih Bangsa Johor. Tahniah kepada kerajaan negeri Johor.

YB Datuk Speaker, baru-baru ini kerajaan Singapura telah mengumumkan gaji minimum dalam sektor pembersihan akan dinaikkan sekurang-kurangnya SD170 setiap tahun, selama 6 tahun berturut-turut berkuatkuasa pada 1 Julai 2023. Ini bermakna gaji kasar bulanan bagi pekerja pemungut sampah dan peringkat permulaan buat warga Singapura dan penduduk tetap dijangka meningkat kepada SD3,260 bersamaan dengan RM10,000.00 menjelang 2028 dibawah Model Gaji Progresif Baharu bagi sektor ini. Perkara ini merupakan satu tamparan dan juga penanda aras yang tinggi buat kerajaan persekutuan dalam merancang dan menambah baik pendapatan gaji minimum di Malaysia. Saya faham kebanyakan orang muda Johor lebih cenderung untuk bekerja di Singapura kerana di sana menawarkan pendapatan yang lebih tinggi. Jadi, ia merupakan satu cabaran buat kerajaan negeri untuk menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak tempatan. Persoalan saya kepada kerajaan negeri, apakah perancangan kerajaan negeri untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negeri ini bagi mengelakkan anak-anak muda migrasi ke Singapura atau negeri lain untuk mencari pekerjaan yang berpendapatan tinggi?

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya beralih kepada isu kawasan saya pula. Saya ingin menyentuh beberapa perkara berkaitan dengan isu-isu di kawasan saya iaitu kawasan Tanjung Surat. Antaranya ialah isu-isu berkaitan Projek RAPID Pengerang seperti isu keselamatan penduduk kawasan sekitar, latihan dan kemahiran, peluang pekerjaan untuk anak tempatan dan isu perumahan di kawasan terlibat. Seperti kita semua sedia maklum, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan telah melaksanakan satu Projek Perumahan Rakyat, PPR Pengerang yang mana ketika ini masih lagi dalam pembinaan walaupun semakin lama pembinaannya, dah hampir 4 ke 5 tahun pembinaannya masih tidak siap-siap lagi Yang Berhormat Speaker. Saya mengharapkan satu pembaharuan di peringkat kawasan saya, saya berharap agar kerajaan dapat memberi beberapa keutamaan seperti berikut:

1. Semua rumah tersebut perlu dibuka kepada penduduk di perumahan transit sahaja.

2. Sekiranya terdapat lebihan unit, saya mohon keutamaan diberikan kepada penduduk yang terlibat dengan pemindahan sahaja untuk membeli rumah tersebut dan

3. Saya mohon kerajaan untuk membantu mempermudahkan urusan mereka untuk membeli rumah dari segi mendapatkan pinjaman bank kerana majoriti antara mereka adalah individu yang bekerja sendiri seperti nelayan yang tiada slip pendapatan.

Untuk isu keboleh pasaran dan kredibiliti anak-anak tempatan untuk diterima masuk bekerja Projek RAPID, saya mohon kerajaan negeri untuk memperbanyakkkan program reskilling, dengan izin dan upskilling dengan izin, untuk meningkatkan keboleh pasaran pekerja dan padanan pekerjaan dalam kalangan anak Johor khususnya anak-anak DUN Tanjung Surat supaya mereka dapat memenuhi keperluan guna tenaga di Projek Mega RAPID Pengerang, terutamanya dalam bidang yang menawarkan pendapatan yang lebih tinggi.

Selain itu, saya juga berharap agar kerajaan negeri melalui agensi yang berkaitan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang pro aktif terutama dari segi penyampaian maklumat kepada penduduk setempat untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan penduduk sekitar kawasan Projek RAPID. Hal ini penting bagi mengelakkan berulangnya siri kejadian letupan yang telah menyebabkan insiden kehilangan nyawa dan kerosakan banyak rumah.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar baru-baru ini ada menyatakan sasaran unjuran pertumbuhan KDNK negeri adalah sebanyak 7% dan sasaran KDNK negeri pada 2030 adalah sebanyak RM260 bilion. Kerajaan negeri juga sedang giat merangka dan melaksanakan pelan inisiatif mesra pelabur, Invest Johor, JCorp, MIDA, IRDA dan lain-lain lagi. Justeru, saya melihat pembangunan Projek RAPID Petronas merupakan medium dan pakej terbaik untuk mencapai semua ini. Kita jangan hanya memandang RAPID Petronas sebagai tempat pemprosesan minyak semata-mata, ianya lebih dari itu. Kita perlu menyediakan satu ekosistem yang kondusif yang merangkumi semua aspek.

Sehubungan dengan itu, antara perkara pokok yang ingin perlu saya lakukan, ingin saya majukan ialah menjadikan Pengerang sebagai daerah penuh. Ketika ini, Pengerang merupakan kawasan yang berada di bawah daerah Kota Tinggi. Pengerang masih belum mempunyai hospital sendiri, Ibu Pejabat Polis Daerah sendiri dan mahkamah dan lain-lain lagi. Dengan faktor seperti pertambahan penduduk yang sudah melebihi 150,000 orang, jumlah kutipan cukai melebihi RM20 juta, kemajuan mendadak dengan ekonomi dan menjadi pusat tumpuan utama pelancongan, saya merasakan sudah sampai masanya Pengerang diangkat menjadi daerah yang penuh.

Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan pertahanan, keselamatan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat negeri ini, Pengerang wajib mempunyai hospital dan ibu pejabat polis daerah sendiri (Dewan bertepuk). Sekiranya terdapat kemalangan yang utama, Yang Berhormat Datuk Speaker di kawasan Projek RAPID, jarak dari Pengerang menuju ke hospital kira-kira 90 kilometer, sangat jauh Yang Berhormat Datuk Speaker. Ketika berlakunya kemalangan, hampir sahaja rakyat tempatan terutama di kawasan DUN saya tidak dapat sampai di hospital, sebelum sampai dah pergi dulu. Jadi, Yang Berhormat Speaker, saya mengharapkan juga di peringkat kawasan Tanjung Surat yang berada di sempadan antara Malaysia dan Indonesia, dan kawasan saya ini Pengerang amat terdedah dengan kemasukan PATI, penyeludupan manusia dan lain-lain jenayah. Sebab itulah pentingnya Pengerang mempunyai Ibu Pejabat Polis Daerah sendiri.

Speaker

Yang Berhormat, tiga minit lagi.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Ok. Tanjung Surat menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor supaya kerajaan persekutuan segera tunaikan janji untuk menaikkan taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada 6 lorong dan Lebuh Raya Senai – Desaru Express menjadi 4 lorong. Hal ini kerana jalan tersebut merupakan jalan utama untuk menuju ke pusat-pusat tumpuan di Pengerang khususnya di kawasan saya Tanjung Surat dan tersebut merupakan penghubung untuk Projek RAPID Pengerang,

Desaru Coast dan banyak lagi. Sudah terdapat banyak siri kemalangan dan aduan saya terima berkenaan dengan jalan ini. Selain itu, saya masih ingat lagi, pada bulan Februari 2021, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah mengumumkan satu berita baik untuk rakyat Johor khususnya di kawasan saya Tanjung Surat iaitu Projek Taman Tenaga Solar dalam kawasan Tanjung Surat sekali gus akan menjadikan Johor sebagai pengeluar utama tenaga solar di Asia Tenggara. Namun begitu, projek bernilai RM1.4 bilion tersebut yang akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan telah disekat oleh kerajaan persekutuan pada ketika itu. Justeru, saya menyeru dan berharap kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh pimpinan baharu ketika ini, tunaikanlah apa yang sepatutnya untuk negeri Johor. (Dewan bertepuk).

Akhir kata, saya mengharapkan kepimpinan yang baharu, kerajaan negeri yang baharu ini, teruskan bekerja, jadikan negeri Johor ini terus maju dan menuju ke tahun 2030. Sekian sahaja daripada saya Tanjung Surat, mohon menyokong (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Tanjung Surat. Saya persilakan YB Tiram.

Tuan Azizul bin BachokUMNO · BNTiram

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah DiRaja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sempena Pembukaan Rasmi Sidang Dewan Undangan Negeri Untuk Penggal Yang Ke-15 pada 16 Jun 2022 yang lalu.

Dewan yang mulia ini, saya hanya menjadi saksi bahawa saya dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri, rakan-rakan Ahli Dewan Negeri Johor dengan penuh kesungguhan akan mentaati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kami semua dari Barisan Nasional akan memberikan yang terbaik untuk memastikan segala hasrat dan aspirasi yang dititahkan oleh Tuanku dapat diterjemahkan dengan sebaik-baiknya demi Bangsa Johor, Insya-Allah.

Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah buat Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan secara rasmi ucapan tahniah kepada Barisan Nasional selaku kerajaan negeri yang baharu selepas 12 Mac 2022 yang telah memenangi 40 buah kerusi untuk membentuk sebuah kerajaan. (Dewan bertepuk). Tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Haffiz bin Ghazi selaku Menteri Besar Johor yang ke-19 dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terpilih untuk mengemudi negeri Johor untuk satu tempoh lagi. Semoga barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ini dapat menggalas tanggungjawab ini dengan baik, dengan penuh tanggungjawab. Tahniah juga diucapkan kepada Yang Berhormat Rengit dan Yang Berhormat Semarang yang telah dipilih sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor untuk penggal kali ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang Di-Pertuan Agong baru-baru ini, tahniah Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pasca PRU Negeri Johor 2022, kami Wakil Rakyat Barisan Nasional telah bekerja untuk rakyat kerana faham akan tanggungjawab dan kepercayaan pengundi yang telah diberikan kepada kami. Tanyalah kepada Ahli Dewan sebelah sini, hari

pertama 13 Mac 2022, kami terus bekerja walaupun belum mengangkat sumpah di Dewan yang mulia ini pada ketika itu. (Dewan bertepuk). Pendekatan turun padang ini cukup sebati dengan Wakil Rakyat Barisan Nasional sejak dulu lagi sama ada kami adalah kerajaan atau pun semasa kami menjadi pembangkang selama 22 bulan. Kebajikan rakyat sepatutnya menjadi sebahagian keutamaan kepada kita selaku Ahli Dewan Negeri yang telah dipilih. Saya ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk-Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Johor Bahru, ketua-ketua jabatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Pengairan Dan Saliran, pihak SAJ, TNB yang begitu pantas bertindak atas aduan-aduan yang telah kita salurkan kepada mereka. Wakil-wakil jabatan ini juga telah turun padang bersama kami, Ahli-Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional untuk menyantuni mereka ataupun rakyat yang ditimpa musibah seawal pertengahan bulan Mac 2022 yang lalu, terima kasih diucapkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam memastikan pihak jabatan melalui pegawai dan anggota mereka terus dapat bersama kami Ahli Dewan Undangan Negeri untuk terus menyantuni rakyat dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Besar harapan agar pihak kerajaan dapat melihat perkara yang ingin saya bawakan ini iaitu dari segi pertambahan pegawai dan anggota jabatan-jabatan yang terlibat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Tiram ini letaknya dalam daerah Johor Bahru yang meliputi 5 buah Parlimen dan 10 DUN. Satu kawasan yang cukup luas dengan kapasiti penduduk yang begitu ramai. Buat masa ini, masih berlaku kekurangan anggota dan staff di setengah jabatan kerajaan, saya mengambil contoh di Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Johor Bahru. Secara purata satu orang staff ataupun pekerja mengawal selia kira-kira 600 kes bantuan, itu baru hal yang berkaitan dengan bantuan yang perlu diselesaikan, belum lagi diambil kira dengan tugas-tugas yang lain seperti yang berkaitan dengan warga emas, kanak-kanak, taska, golongan gelandangan dan orang kelainan upaya. Saya mengharapkan agar perkara ini dapat diberi perhatian, bukan hanya untuk jabatan yang saya ambil sebagai contoh iaitu JKM tetapi ianya juga meliputi jabatan-jabatan yang lain yang juga menjadi barisan hadapan menyantuni rakyat supaya hasrat kerajaan untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dapat dilakukan atau dijalankan tanpa berlaku sebarang kelewatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan atau perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan dengan pendidikan Sekolah Agama Johor. Pendidikan Sekolah Agama Johor kita ini sudah lama bertapak di negeri yang kita sayangi ini. Lebih 100 tahun usianya. Terdapat bangunan sekolah-sekolah agama ini yang telah berusia lebih 30 tahun dengan mengambil contoh Sekolah Agama Kampung Pasir Putih, Sekolah Agama Bandar Tiram. Banyak infrastruktur yang perlu diperbaiki. Ada yang dimakan anai-anai, bumbung bocor, jubin lantai pecah dan macam-macam lagi kerosakan yang ada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pembaikan ini perlu dibuat kerana pertama, untuk keselamatan guru-guru dan pelajar itu sendiri. Dan yang keduanya, untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif agar proses pembelajaran itu lebih menarik dan dapat berjalan dengan lancar tanpa perlu ada rasa kebimbangan dalam mereka menjalani sesi pembelajaran. Justeru, saya mengharap agar pihak kerajaan negeri Johor dapat melawat sekolah-sekolah ini, sekolah-sekolah yang dalam kategori berusia ini untuk melihat sendiri keadaan infrastruktur seterusnya mengambil langkah-langkah pembaikan yang sewajarnya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, dalam Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ada menyebut tentang betapa negeri Johor ini masih belum menjadi tempat tumpuan pelancong selepas 30 tahun. DUN Tiram ini meliputi kawasan bandar, separa bandar, pinggir bandar, kampung-kampung tradisi dan juga kawasan pesisir pantai. Terima kasih kepada

kepimpinan kerajaan Barisan Nasional terdahulu di bawah kepimpinan Yang Berbahagia Datuk Seri Khaled Nordin selaku Menteri Besar ketika itu dan Yang Berbahagia Datuk Maulizan bin Bujang, ADUN Tiram ketika itu yang telah menjadikan Kampung Kongkong Laut sebagai satu destinasi eko pelancongan. Alhamdulillah, rentetan daripada itu kawasan Kampung Kongkong Laut ini pada hujung minggu sentiasa penuh dengan kunjungan masyarakat tempatan mahupun dari luar untuk menikmati makanan dan juga jualan hasil laut yang diadakan di sana. Ianya sentiasa penuh, baik waktu sarapannya, makan tengahari ataupun pada waktu malam. Jadi dalam hendak merealisasikan agar Johor menjadi kawasan tumpuan pelancongan saya menjemput Yang Berhormat EXCO untuk melawat kawasan, melawat kampung-kampung tradisi ini dan kawasan pesisir pantai, seperti di Kampung Pasir Putih, Kampung Tanjung Langsat dan Kampung Perigi Acheh sebagai contoh untuk melihat potensi yang memungkinkan untuk ianya dibangunkan sebagai kawasan baru dan menjadi lokasi tambahan kepada kawasan eko pelancongan sedia ada. Eksplorasi di kawasan ini boleh juga dipanjangkan dengan menambah rumah-rumah inap desa di kawasan kampung-kampung tradisi. Saya yakin dan percaya pembangunan di kawasan eko pelancongan ini akan mampu menambah pendapatan penduduk setempat dan isu-isu pencemaran yang berkaitan di kawasan tersebut juga boleh diatasi apabila kerana ianya boleh dipantau dan dijaga rapi kerana kawasan tersebut telah mula menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pandemik COVID-19 yang telah berlaku sepanjang 2 tahun, banyak memberi hikmah kepada kita, kalau kita boleh ambil. Antaranya saya yakin dan percaya hampir sebahagian besar daripada kita ini dah mula mesra dengan teknologi digital. Sebut sahaja aplikasi canva, care cut, google meet, zoom dan lain-lain, dengan izin, pasti kita dan terbayang akan aplikasi-aplikasi tersebut. Bertitik tolak dari perubahan norma ini dengan kemajuan teknologi yang sentiasa berubah dari masa ke semasa, saya menyeru agar kerajaan terus mengadakan program-program berkaitan dengan transformasi digital ini. Perkasakanlah, perkasakanlah golongan ibu tunggal, golongan kelainan upaya ataupun mereka yang terjejas sepanjang tempoh pandemik yang lalu dengan kursus-kursus seperti keusahawanan digital supaya kita boleh juga menjana ekonomi dari kelompok-kelompok usahawan digital ini. Didiklah mereka dan bantulah mereka agar mereka sentiasa berada dalam landasan yang tepat sepanjang mereka menjalankan ekonomi secara dalam talian.

Selain itu, jangan kita lupakan juga golongan muda dan belia. Kita mengharapkan agar golongan ini dapat disediakan pelbagai program yang terkini, yang dekat di hati mereka yang mampu melahirkan insan-insan yang lebih berfokus dan dapat mengenalpasti potensi yang ada di dalam diri mereka. Jika jiwa mereka begitu dekat dengan ekonomi, wujudkanlah kepelbagaian program yang boleh membawa mereka kepada ilmu-ilmu keusahawanan, sebagai contoh. Jika jiwa mereka adalah jiwa sastera dan muzik, mungkin kita boleh halakan mereka kepada industri kreatif. Jika jiwa mereka lebih kepada sukan, wujudkanlah pelbagai jenis sukan yang boleh mengembangkan lagi potensi sukan dalam diri mereka termasuk mempelbagaikan lagi insfrastruktur sukan di negeri Johor.

Di samping itu, Tiram juga menyarankan agar kemudahan yang disediakan di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia ataupun singkatannya PEDI dapat digunakan untuk melatih golongan-golongan sasaran ini. Menyentuh hal PEDI ini, saya mohon pihak kerajaan juga agar dapat lagi menambah PEDI-PEDI ini di dalam kawasan-kawasan DUN khususnya kawasan DUN yang kawasannya cukup luas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga saya ingin mengambil peluang untuk mendapatkan perhatian daripada pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan beberapa isu di dalam DUN Tiram yang memerlukan penyelesaian.

Yang pertama, isu-isu jalan dan jalan yang memerlukan pembaikan. Antaranya di perkampungan Orang Asli Kampung Pasir Salam Sg. Tiram dan Kampung Orang Asli

Kampung Pasir Putih. Jalan-jalan kampung di beberapa jalan di sekitar Sg. Tiram juga memerlukan pembaikan. Selain itu, saya juga mohon agar kerosakan jalan di Kampung Bukit Kulai yang menjadi pilihan ataupun menjadi jalan alternatif kepada penduduk yang menggunakan laluan tersebut untuk bergerak keluar ke Taman Kota Masai menuju ke Pasir Gudang dan Tanjung Langsat juga dapat diperbaiki serta ditambah dengan lampu-lampu jalan di kawasan tersebut. Selain daripada itu, jalan yang menghubungkan pekan Tiram dan Ulu Tebrau dalam DUN Puteri Wangsa juga sering mengalami kerosakan yang berulang. Tak tahu di mana silapnya, saya mengharapkan ianya dapat diatasi demi keselamatan pengguna jalan raya. Jangan dibiarkan statistik kehilangan nyawa ini semakin meningkat pada masa akan datang. Selain rosak, banyak juga jalan raya di DUN Tiram yang memerlukan untuk dicat semula garisan-garisan putih atas jalan raya yang telah pun mula hilang, antaranya di Jalan Sg. Tiram berhampiran dengan Kampung Tenang dan juga menghala ke FELDA Ulu Tebrau berhampiran dengan Kampung Oren. Sudahlah kawasan ini tiada lampu jalan, ditambah pula dengan ketiadaan garis putih di atas jalan raya, mohon perhatian Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang kedua, Yang Berhormat Datuk Speaker, yang keduanya masalah banjir kilat yang sering berulang dalam kawasan DUN Tiram. Alhamdulillah, beberapa kawasan DUN yang dilanda banjir kilat sebelum ini telah pun diambil perhatian sewajarnya. Pada 16 Mac 2022, saya dan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru, pihak JKR, pemaju dan beberapa agensi yang lain telah sama-sama turun untuk melihat sendiri punca kejadian banjir kilat di persimpangan bertingkat di pekan Ulu Tiram. Begitu juga dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Johor Bahru yang telah turun bersama saya ke Kampung Sentosa Damai, Kampung Pasir Putih untuk melihat sendiri keadaan di lokasi yang berlakunya banjir kilat tersebut pada 25 April 2022 yang lalu. Terima kasih di atas caknanya agensi-agensi ini kepada permasalahan dan aduan yang telah diajukan.

Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan DUN Tiram yang berlaku, yang sentiasa berlaku banjir adalah di jalan masuk ke Kampung Bukit Dagang dan juga baru-baru ini tak terfikir di akal kita bagaimana Jalan Pekeliling menuju ke kawasan perindustrian Kampung Tg. Langsat telah juga dinaiki air pada hujan lebat. Besar harapan daripada saya dan penduduk DUN Tiram agar satu tindakan drastik dan holistik dan perancangan yang lebih teliti perlu dibuat dengan penglibatan semua pihak sama ada penduduk, PBT, pemaju dan agensi berkaitan agar kawasan yang sentiasa mengalami musibah banjir ini terus terbela agar tidak berlaku banjir berulang. Asal hujan lebat sahaja, banjir. Asal banjir, hujan lebat berlaku. Maka, saya tidak, kita khuatir apabila berlakunya hujan lebat pada waktu malam, penduduk tidak dapat nak melelapkan mata kerana memikirkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Tiram juga mengharapkan agar jadual penyelenggaraan longkang dan parit secara berkala oleh kontraktor yang dilantik perlu dipantau agar ianya dapat dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kita perlu tamatkan retorik, bila adu baru buat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ketiga, kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Kong Kong berhampiran di Jalan Betik, Taman Kota dan persimpangan Taman Cahaya Masai. Jalannya dah cukup lebar kepada 4 lorong, tetapi kemalangan jiwa masih lagi berlaku. Saya harap pihak JKR perlu mengadakan satu kajian yang lebih terperinci untuk mengatasi masalah berulangnya kejadian kemalangan maut.

Yang keempat Yang Berhormat Datuk Speaker berkaitan dengan masalah..

Speaker

Yang Berhormat, tinggal 3 minit sahaja.

Tuan Azizul bin BachokUMNO · BNTiram

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ke-4 berkaitan dengan masalah anjing liar. Masalah ini nampaknya belum sampai, belum

ada penghujungnya ataupun belum ada titik noktah. Di DUN Tiram memang banyak kita terima aduan mengenai anjing liar ini di dalam kawasan perumahan ataupun di kampung-kampung. Pihak PBT, terima kasih, memang respons kepada aduan yang telah diajukan, tetapi kita lihat masalah ini masih lagi berulang, mungkin kerajaan perlu memikirkan satu kaedah ataupun jalan penyelesaian yang terbaik, sebab kita faham, kita sendiri tidak dibenarkan untuk membuat apa-apa ancaman nyawa kepada haiwan-haiwan tersebut. Tapi, takkan sampai bila kita hendak membiarkan pula nyawa anak-anak kita yang ke sekolah, ibu bapa yang ke kedai-kedai runcit, terancam keselamatannya. Jadi carilah jalan penyelesaian. Saya menyeru kepada EXCO untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang selepas PRU-14 2018 yang lalu, selama 22 bulan, menurut pengundi di DUN Tiram, mereka tidak dapat merasai sebarang denyut nadi bantuan daripada pihak kerajaan atau apa juga limpahan projek pembangunan daripada pihak kerajaan semasa Ahli Dewan Undangan Negeri daripada pihak PKR pada ketika itu. Justeru, saya berharap agar DUN Tiram yang saya wakili kali ini akan kembali menerima limpahan pembangunan dan bantuan-bantuan kebajikan daripada pihak kerajaan melalui dasar-dasar yang telah diwujudkan ataupun yang akan diwujudkan pada masa yang akan datang.

Tiram menjunjung setinggi kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, semoga Tuanku dan kaum kerabat sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Akhir sekali kepada kerajaan negeri di atas inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor yang telah dilaksanakan baru-baru ini. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Tiram. Sekarang saya jemput YB Gambir, silakan.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Bismillahirrahmanirrahim. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor, selamat sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, memberi keizinan dan peluang kepada Gambir dalam membahaskan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor kali Ke-15. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Yang Berhormat Rengit selaku Speaker Dewan dan juga Yang Berhormat Semarang, selaku Timbalan Yang DiPertua Dewan yang baru. Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah atas penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor membawa gelaran Tan Sri kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani. Tahniah Dato’.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini merupakan ucapan sulung saya di Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Saya bersyukur kerana tidak perlu menunggu sehingga 18 tahun sebagaimana sahabat saya Yang Berhormat Iskandar Puteri. Ketenangan, kedamaian dan ketenteraman yang ada di sepanjang sidang Dewan pada kali ini yang sarat dengan pelbagai cadangan konstruktif dari kedua-dua pihak sangat mengujakan saya. Inilah bangsa Johor. Berbahas dan bertukar pandangan dengan cara yang penuh hikmat dan bijaksana. Justeru, saya tertarik mendengar ucapan dari Simpang Jeram sebelum ini yang mengungkapkan bahawa perbahasan ini tidak ada excitement, tidak ada perbahasan. Malah, beliau terus menyatakan nak test orang muda dengan merujuk kepada barisan EXCO yang ada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sangat yakin dan percaya bahawa perbahasan di sini adalah untuk kita mencanai idea, memberi peluang dan ruang kepada seluruh Wakil Rakyat

yang ada untuk membicarakan tentang isu rakyat. Membawa pandangan rakyat untuk dibincangkan dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Perbahasan ini bukan untuk kita mencari juara berbahas. Mencari, mencari pembahas terbaik, malah ianya juga bukan mencari salah dan silap. Ujian sebenarnya adalah di lapangan. Saya percaya bahawa barisan EXCO yang ada yang rata-ratanya orang baru, sebagaimana titah Baginda Tuanku 70% adalah orang muda, telahpun menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan segala dasar yang ada. Buktinya, 25 daripada 28 inisiatif, Bantuan Kasih Bangsa Johor telah dilaksanakan oleh mereka tidak sampai 100 hari Barisan Nasional memerintah. (Dewan bertepuk). Agihan beras Bantuan Kasih Bangsa Johor dilaksanakan dengan baik dan lancar oleh Southern Volunteers melibatkan agihan kepada 1.3 juta isi keluarga di negeri Johor. Ke semua ini menunjukkan bahawa Barisan EXCO yang ada hari ini, walaupun muda tetapi mampu untuk menggalas amanah dalam melaksanakan segala amanah dan segala dasar kerajaan yang akan dijalankan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga mendengar dengan teliti dan menekuni tiap ucapan dalam perbahasan di sini. Saya tertarik dengan pernyataan dari YB Perling yang menyatakan pada tahun 2020 hanya RM888 juta disalurkan kepada kerajaan negeri berbanding RM13 bilion hasil yang dikutip dari negeri Johor. Saya sangat yakin dan percaya bahawa peruntukan RM888 juta ini telah diluluskan pada Bajet tahun 2019, yang mana pada ketika itu, Yang Berhormat Perling malah Yang Berhormat Simpang Jeram juga adalah anggota Kabinet kepada kerajaan persekutuan pada ketika itu. Saya percaya bahawa kedua-dua YB ini telah pun berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan peruntukan yang adil kepada kerajaan negeri Johor tetapi malangnya pada ketika itu telah pun gagal. Maka pada hari ini saya mengalu-alukan kebersamaan Yang Berhormat Perling, Yang Berhormat Simpang Jeram, malah seluruh barisan pembangkang mengalu-alukan kesudian mereka untuk bersama-sama dengan kerajaan Johor pada hari ini untuk menuntut satu peruntukan yang lebih adil kepada negeri Johor. Demi Bangsa Johor ayuhlah kita bersama-sama. Demi Bangsa Johor marilah kita sama-bersama memastikan peruntukan yang lebih adil untuk kerajaan negeri pada tahun-tahun akan datang.

Tuan Yang Dipertua sidang Dewan yang saya hormati, hari ini kita menuju 100 hari pertama pentadbiran baharu kerajaan Barisan Nasional di Johor. Sewajarnya pilihan rakyat yang tepat pada kali ini memberi semangat baharu kepada seluruh anggota pentadbiran untuk berusaha lebih gigih bagi memajukan negeri ini selaras dengan titah Tuanku Sultan Johor. Sewajarnya juga, aspirasi pentadbiran ini turut dikongsi bersama dengan pentadbiran di peringkat kampung dan desa. Ketua kampung merupakan satu jawatan yang paling penting dan merupakan pihak paling terkehadapan dalam berhadapan dengan masyarakat. Pengorbanan ketua kampung dalam melaksanakan tugas 24 jam sehari, 7 hari seminggu ini sangat-sangat kita hargai. Saya menyokong penuh cadangan untuk menaikkan elaun ketua kampung kepada RM1,500.00. (Dewan bertepuk).

Menyoroti kembali tahun 2018, pada ketika Barisan Nasional tewas di negeri Johor ini, peralihan kuasa ini telah dijalankan dengan penuh lancar dan tanpa sebarang kontroversi. Barisan Nasional pada ketika itu menghormati pilihan rakyat dan menyerahkan pentadbiran negeri, pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan serta pentadbiran di kampung kepada Pakatan Harapan. Dengan harapan negeri bertuah ini dapat ditadbir dengan lebih baik dan yang paling penting, kebajikan rakyat terus terbela. Hakikat ataupun apa yang berlaku selepas itu tidaklah perlu kita ungkapkan. Biarlah ianya menjadi sejarah dalam sejarah negeri Johor ini. saya mencadangkan kepada negeri Johor untuk kita membuat penilaian prestasi ke atas semua ketua kampung dan Ahli-Ahli Majlis sedia ada. Dan pelantikan baharu harus dibuat bagi menyerap masuk ketua-ketua kampung dan Ahli-Ahli Majlis yang sealiran pemikiran dan berkongsi aspirasi yang sama dengan kerajaan negeri Johor pada hari ini. Saya juga meminta kepada rakan-rakan pembangkang supaya tidak mempolitikkan isu ini kerana kita, mahukan pentadbiran negeri ini bergerak dengan lancar dengan matlamat yang sama untuk terus memajukan negeri dan membela rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan di sini juga untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Pegawai Daerah Tangkak dan seluruh kakitangannya, Tuan Pentadbir Tanah Daerah Tangkak dan seluruh kakitangannya, Tuan Yang DiPertua Majlis Daerah Tangkak, Tuan OCPD IPD Tangkak, JKR dan JPS yang setakat hari ini telah memberikan kerjasama yang cukup baik dan erat kepada saya dalam melunaskan segala amanah dan tanggungjawab yang telah dikemukakan.

Tuan Yang Dipertua, saya percaya dan saya meyakini tahap profesionalisme penjawat-penjawat awam yang ada dalam negeri Johor sama ada kakitangan awam kerajaan negeri ataupun kakitangan kerajaan pusat. Dan saya percaya apa jua yang telah pun dirungutkan ataupun yang telah dinyatakan oleh saudara kita daripada Mengkibol semalam adalah isu terpencil dan boleh diselesaikan secara runding cara bersama dengan penjawat-penjawat awam tersebut.

Tuan Yang Dipertua yang saya hormati, berbicara soal Maju Johor. Sebuah gagasan yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor baru-baru ini. Sewajarnya kemajuan yang ingin dicapai ini perlulah meliputi keseluruhan wilayah dan daerah. Kemajuan yang ingin kita capai ini perlulah meliputi keseluruhan kawasan desa dan bandar. Maju Johor ini tidak sepatutnya dibiarkan sekadar menjadi satu tagline. Tidak dibiarkan semata-mata sekadar satu hashtag apatah lagi satu retorik politik. Tetapi ia perlulah diiringi dengan keazaman politik dan iltizam yang bersungguh-sungguh dari seluruh Bangsa Johor. Para pemimpin politik, pemimpin-pemimpin masyarakat, imam-imam masjid dan surau, Penghulu dan Ketua Kampung, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan belia malah segenap lapisan masyarakat perlu mendokong dan menyokong visi dan misi kita untuk memajukan negeri Johor yang tercinta ini Tuan Yang Dipertua. Keazaman yang tinggi ini perlu diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh, sesi libat urus dengan semua pemegang taruh dan perlu ada indeks penunjuk prestasi yang perlu disemak pencapaiannya secara tahunan. Jika tidak, Maju Johor ini akan hanya bersifat retorik atau ucapan politik semata-mata. Tidak dapat mendokong hasrat kita untuk memajukan negara ini secara bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang saya sebutkan tadi pembangunan dan kemajuan negeri ini harus meliputi dan mencakupi keseluruhan kawasan dan daerah di negeri Johor. Kemajuan dan pembangunan serta pelaburan yang dibawa masuk tidak harus ditumpukan di sesuatu kawasan semata-mata. Umum telah mengetahui terdapat 3 wilayah pembangunan ekonomi sedia ada di Johor, Wilayah Pembangunan Iskandar, KEJORA dan ECER.

Saya merupakan Wakil Rakyat N09 Gambir. Gambir ini terletak di dalam daerah Tangkak, satu daerah kecil yang baharu ditubuhkan pada tahun 2004. Dan dukacita dimaklumkan bahawa sehingga hari ini daerah Tangkak ini tidak terletak di mana-mana Wilayah Pembangunan Ekonomi Johor sebagaimana yang saya sebut tadi. Daerah Tangkak, Segamat, Muar merupakan daerah-daerah di bahagian utara yang seringkali menjadi pemerhati kepada segala projek pembangunan, kemajuan serta pelaburan yang dibawa masuk oleh kerajaan negeri Johor. Apakah kami wilayah Johor Utara ini hanya layak menjadi pemerhati kepada segala macam program pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh kerajaan negeri? Kami di wilayah Johor ini juga mempunyai keazaman dan cita-cita yang sama untuk melihat daerah-daerah kami ini turut maju seiring dengan kerajaan, seiring dengan daerah-daerah lain. Apatah lagi wilayah Johor Utara ini merupakan pintu masuk kepada negeri-negeri lain yang berjiran dengan Johor seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Kami tidak rela satu hari nanti daerah-daerah kecil kami ini digelar halaman belakang Melaka, halaman belakang Negeri Sembilan mahupun halaman belakang Pahang.

Datuk Yang Dipertua, suka saya ingin mencadangkan agar dapat dipertimbangkan bahawa wujudkanlah satu wilayah pembangunan ekonomi yang baharu. Untuk kawasan-kawasan Johor Utara, Koridor Pembangunan Ekonomi Johor Utara. Untuk memastikan bahawa pembangunan Johor Utara ini dapat dibangunkan secara bersepadu dan lebih efisyen. Biarlah pada penggal kali ini, pada kali ini dan pada penggal ini adanya iltizam yang bersungguh-sungguh dari kerajaan negeri untuk membangunkan dan memajukan wilayah Johor Utara ini melalui penubuhan Koridor Pembangunan Ekonomi Johor Utara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ikhtiar Barisan Nasional Johor antaranya telah memasukkan 5 Ikhtiar utama dan salah satu komponennya adalah kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Yang Amat Berhormat Mentri Besar Johor juga dalam Amanat Menteri Besar pada baru-baru ini telah berkongsi 6 Teras Maju Johor yang antara lainnya juga turut menyentuh tentang pembangunan ekonomi dan peri pentingnya menyediakan kemudahan dan keperluan asas. Tempoh 5 tahun ini sangat kritikal dan kita perlu menterjemahkan segala bentuk janji ini dalam bentuk pelaksanaan. Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor terutama yang melibatkan daerah-daerah kecil, daerah-daerah yang miskin ini, maka padankanlah kami daerah-daerah ini dengan rakan korporat dari syarikat berkaitan kerajaan untuk menjadi booster ataupun pemangkin kepada kemajuan sesebuah daerah. Pemadanan rakan korporat daripada GLC ini sama ada daripada kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat diharap dapat menggerakkan lagi pembangunan sesebuah kawasan dengan lebih pantas dan cekap disamping dapat mengurangkan penggantungan kepada kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, proses modenisasi pembangunan fizikal dan kemajuan negeri juga harus mengutamakan tentang kesejahteraan rakyat dan peri pentingnya menyediakan kemudahan dan keperluan asas. Ianya adalah bekaitan dengan people happiness, dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, apalah maknanya kemajuan jika rakyat tidak gembira. Apakah maknanya pembangunan jika rakyat berdukacita? Apakah maknanya pemodenan jika rakyat bermuram durja?

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang berkaitan dengan people happiness ini terutamanya di Gambir adalah berkaitan dengan jaringan telekomunikasi dan juga internet. Yang Berhormat Datuk Speaker, adalah sangat-sangat mendukacitakan pada tahun 2022 ini masih lagi kawasan-kawasan tertentu walaupun tidak jauh daripada bandar, tidak mendapat talian untuk telekomunikasi dan ini sangat menyedihkan.

Tuan Yang Dipertua, saya juga ingin membawakan beberapa perkara berkaitan dengan isu kawasan. Pertamanya adalah pembinaan semula padang atau Stadium Mini di Parit Jarum Laut, Parit Jarum Tengah berkaitan dengan, yang telah pun dibatalkan sejak Pakatan harapan mengambil alih kerajaan negeri. Kita perlu melihat, menjunjung bahawa orang muda merupakan masa depan negara. Di samping kita membekalkan mereka dengan segala bentuk kemahiran yang ada. Kita jangan nafikan hak bermain, beriadah dan beraktiviti untuk orang-orang muda ini, Tuan Yang Dipertua. (Dewan Bertepuk). Saya sangat pelik mengapa projek pembangunan tersebut yang telah pun diluluskan pada tahun 2018 dengan inisiatif sebahagian daripada kerajaan negeri dan sebahagian lagi dari PBT dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu. Maka hari ini, saya ingin mendesak kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan semula untuk membina semula padang bola sepak tersebut. Begitu juga dengan baik pulih gelanggang-gelanggang futsal yang ada. 4 ataupun 5 tahun tidak pernah ada sebarang baik pulih dilaksanakan dan kami mendapat, saya sendiri mendapat aduan dari kalangan di jiran-jiran rumah persekitaran, bola itu terlepas kepada rumah mereka, Tuan Yang Dipertua, Datuk Yang Dipertua. Amat malang kerana memecahkan tingkap dan pintu rumah mereka, merosakkan kereta dan sebagainya. Jadi, saya ingin mengambil perkara ini sebagai satu perkara yang sangat serius. Saya memohon supaya kerajaan negeri dapat memikirkan kaedah yang

terbaik bagi memastikan gelanggang-gelanggang futsal yang ada ini dapat dibaik pulih untuk digunakan oleh orang-orang muda kita.

Tuan Yang Dipertua, di Bukit Gambir juga kita memerlukan pembinaan semula Klinik Bukit Gambir. Pembinaan semula Klinik Bukit Gambir ini kerana klinik yang ada ini sudah tidak cukup untuk menampung keperluan masyarakat dan saya percaya cadangan telah pun dikemukakan dan saya harap dalam tempoh ini, dalam penggal ini ianya dapat dilaksanakan.

Tuan Yang Dipertua, Datuk Yang Dipertua, pagi tadi Yang Berhormat EXCO Pertanian mengungkapkan perkataan Periuk Nasi Selatan. Dan daerah Tangkak, Dun Gambir saya ada sawah padi dan sebagai anak seorang pesawah padi, saya ingin mendesak kerajaan yang ada pada hari ini, apalah gunanya maksudnya Periuk Nasi Selatan itu jika tiada kilang padi yang dibina di kawasan kami. Justeru, saya mohon pertimbangan kerajaan negeri pada hari ini supaya dapat mempertimbangkan binalah sebuah kilang padi untuk menjayakan misi dan hasrat kita untuk menjadi selatan adalah periuk nasi kita. (Dewan bertepuk).

Isu seterusnya berkaitan dengan banjir termenung. Ramai rakan-rakan daripada wakil rakyat pada hari ini bercerita tentang soal banjir yang berlaku di Bukit Gambir ini adalah banjir termenung. Selain daripada banjir-banjir yang biasa dan sebenarnya banjir termenung ini betul-betul mendukacitakan, menjejaskan people happiness, kerana pada satu ketika, 3 hingga 4 minggu kawasan mereka, keliling rumah mereka, kebun-kebun mereka dinaiki air dan tidak surut-surut. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JPS Tangkak yang cuba membantu untuk mengurangkan air itu dan menghalakan ke luar tapi pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang itu perlu dilaksanakan.

Tuan, Dato’ Yang Dipertua saya mohon supaya kajian yang terperinci untuk mengelakkan banjir termenung ini dapat dibuat oleh pihak kerajaan negeri. Begitu juga fasiliti di Pusat Pemindahan Sementara ...

Speaker

Yang Berhormat, tinggal 1 minit sahaja lagi.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Baik, saya cuba habiskan. Begitu juga fasiliti di Pusat Pemindahan Sementara yang maknanya perlukan ditambah baik walaupun kita meminjam dan menggunakan bangunan kerajaan sedia ada. Tuan Yang DiPertua, Dato’ Yang DiPertua, saya juga ingin melihat bahawa pembinaan pusat pentadbiran Tangkak yang baru yang telah pun direncanakan bertahun-tahun lamanya tetapi masih lagi belum dapat direalisasikan. Begitu juga dengan bas, stesyen bas Bukit Gambir yang telah siap tersergam indah tetapi masih lagi belum dapat digunakan. Dan juga lampu-lampu jalan serta kalaulah Kawasan Perindustrian Gambir itu dapat direalisasikan pembinaannya, semestinya ia dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan untuk DUN Gambir.

Tuan, Dato’ Yang DiPertua, Gambir berhenti dulu setakat hari ini dan Tuan, Datuk Speaker mohon maaf, saya mohon untuk menyokong. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Kita teruskan perbahasan. Dipersilakan Kempas.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya saya dapat turut serta dan mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan dalam Dewan yang mulia pada hari ini.

Terlebih dahulu izinkan Kempas untuk merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim atas perkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 16 Jun 2022 yang lalu. Insya-Allah segala titah, nasihat dan ingatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa patik semat, kemas dalam ingatan sepanjang menjalankan amanah sebagai Wakil Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Kempas turut merafak sembah ucapan setinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas perlantikan sebagai Pemangku Raja Johor. Patik mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku seterusnya sentiasa berada di dalam lindungi Illahi, insya- Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan anggota perkhidmatan awam negeri Johor, penghargaan dan ucapan tahniah ini kerana kesungguhan serta komitmen yang telah ditunjukkan oleh kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor dan negeri Johor khususnya. Setelah dilantik sebagai Ketua Eksekutif Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah memberikan nafas baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dan pendekatan yang selari dengan kehendak semasa. Begitu juga dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan perkhidmatan awam Johor yang komited dalam melaksanakan tugas masing-masing bagi memastikan kecekapan perkhidmatan untuk rakyat negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini penting kerana muktahir ini rakyat mendapatkan sebuah kerajaan dengan pentadbiran yang walk the talk iaitu kerajaan yang mengambil tahu keluhan dan permasalahan rakyat, seterusnya segera mencari titik penyelesaian kepada permasalahan yang dibangkitkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dan ini yang telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri bermula dengan Bantuan Kasih Bangsa Johor yang diumumkan hinggalah lawatan under cover dengan izin, bagi menyelami sendiri kehidupan rakyat. Setiap tindakan dan inisiatif diambil bukanlah kerana political milage, sebaliknya mencerminkan iltizam serta kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam merejuvinasikan sistem penyampaian pentadbiran awam oleh itu saya mengucapkan setinggi syabas dan tahniah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam ini dapat diukur menerusi maklum balas yang diterima daripada rakyat sebagai pemegang taruh sebuah kerajaan negeri tidak lari daripada menerima kritikan selain mendengar isu dan keluhan rakyat, kerajaan perlu memahami setiap pengaduan dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat seterusnya menyelesaikannya. Sehubungan itu, kerenah birokrasi harus dikurangkan dalam perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin mengambil kesempatan dalam ucapan perbahasan pada hari ini untuk membangkitkan pelbagai isu dan perkara dengan harapan ianya dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan dipertemukan jalan penyelesaiannya. Pertamanya adalah berkenaan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan Permatang Kempas. Setiap kali apabila cuaca mendung, ia akan menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada penduduk malah kepada Wakil Rakyat dan pemimpin masyarakat setempat. Dalam hati kami selalu berdoa agar tidak berlaku banjir di kawasan berkenaan. Ini kerana bila hujan turun dengan lebat dalam tempoh yang singkat sahaja kawasan-kawasan ini mudah dinaiki air dan dilanda banjir akibatnya banyak rumah penduduk yang dimasuki air sehingga berlaku kerosakan harta benda, banyak kenderaan yang terkandas menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Selain itu, penduduk juga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir di kawasan Permatang Kempas ini sering berlaku berulang kali saban tahun maka Kempas berharap agar kerajaan negeri dapat mengkaji dan meneliti isu ini serta mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah ini dari terus berulang dan memberikan kesusahan dan kerugian harta benda serta boleh mengancam keselesaan penduduk di kawasan yang berkenaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga berharap pihak kerajaan negeri Johor dapat memberikan perhatian yang serius terhadap kemudahan infrastruktur di negeri ini terutama berkaitan jaringan jalan raya yang perlu diberikan perhatian kerana ia melibatkan soal keselesaan dan keselamatan rakyat. Kempas menjunjung kasih terhadap keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada titah ucapannya yang menggesa kerajaan persekutuan agar segera menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Senai – Desaru, justeru itu Kempas juga mohon jasa baik kerajaan negeri agar dapat segera berbincang dengan kerajaan persekutuan bagi cadangan kerja-kerja untuk menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang terutamanya dari Persisiran Perling - Jalan Skudai sehingga Perindustrian Jalan Tebrau agar dapat segera dilaksanakan.

Ini kerana kesesakan Lebuhraya Pasir Gudang hari ini sudah boleh dikatakan agak kritikal kerana ianya berlaku hampir setiap hari, terutamanya pada waktu puncak dan akan menjadi lebih teruk ketika waktu hujan dan musim perayaan. Kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Pasir Gudang ini seringkali melimpah berlanjutan hingga ke Jalan Skudai sebelum Taman Ungku Tun Aminah. Apabila berlaku kesesakan di Jalan Skudai, kenderaan-kenderaan akan mencari jalan alternatif dan memasuki jalan-jalan di kawasan perumahan ini menyebabkan berlakunya pula kesesakan di jalan-jalan dalam yang akhirnya menyebabkan kesukaran pula kepada penduduk untuk keluar masuk ke taman perumahan mereka. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini Kempas mohon agar selain dari usaha untuk menaiktaraf lebuhraya, kerajaan juga harus memberikan perhatian ke atas usaha untuk menaiktaraf jalan-jalan utama khususnya di Kempas. Ini kerana pembangunan di Kempas sedang rancak membangun dan mempunyai kepadatan penduduk yang amat tinggi. Sudah pastinya pada masa yang akan datang kesesakan lalu lintas di kawasan ini akan menjadi isu utama yang akan dibangkitkan, banyak kawasan perumahan, perniagaan dan industri yang baru dan sedang rancak dibina tetapi penyediaan kemudahan infrastrukturnya tidak berjalan seiring dengan pembangunan yang sedang dilaksanakan.

Di jalan yang sama, di mana sebahagiannya telah dinaiktaraf keempat lorong tetapi sebahagian lagi masih dalam keadaan asal 2 lorong ini menyebabkan berlakunya bottle necks dengan izin, di banyak tempat yang menjadi antara punca utama pada masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan. Oleh itu Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas mohon agar beberapa jalan di kawasan ini dinaik taraf kepada 4 lorong antaranya Kempas mohon, supaya keseluruhan jalan Persiaran Bukit Kempas segera dinaiktaraf dari 2 lorong kepada 4 lorong di mana sebahagian jalan ini telah pun dilebarkan kepada 4 lorong,

tetapi sebahagiannya lagi masih dalam keadaan 2 lorong. Keadaan ini sering menimbulkan kekeliruan kepada pemandu kenderaan terutamanya kepada mereka yang tidak biasa menggunakan laluan berkenaan yang boleh mengundang kecelakaan di kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Kempas juga mohon supaya Jalan Persiaran Kempas Baru dan Highway Kempas ataupun Jalan Kempas Lama dapat segera dinaiktaraf kepada 4 lorong bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pengguna yang berulang alik menggunakan laluan tersebut dan juga kepada mereka yang menggunakan laluan tersebut untuk menuju ke Lebuh raya Utara Selatan melalui Plaza Tol Kempas. Begiu juga dengan Jalan Kempas Lama, sudah sampai masanya jalan dinaiktaraf ke 4 lorong. Selain itu, Kempas juga memohon agar penyelenggaraan jalan-jalan di kawasan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Jalan-jalan yang kerap berlubang dan tidak rata perlu diturap semula dengan segera kerana kelemahan kita apabila ketidaksempurnaan infrastruktur ini ia boleh mengundang ancaman keselamatan yang membahayakan kepada pengguna jalan raya. Oleh itu dia perlu diatasi dengan mekanisme yang sistematik dan perancangan yang teratur.

Yang Berhormat Datuk Speaker, adalah menjadi impian bagi setiap orang untuk memiliki kediaman mereka sendiri yang selesa terutamanya di kalangan anak muda dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga ianya merupakan suatu keperluan lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan bandar walaupun bagi mana-mana individu atau pasangan yang menetap di kawasan bandar memilik rumah sendiri merupakan cabaran semasa yang perlu dihadapi memandangkan harganya yang tinggi berkali ganda selain faktor kos sara hidup yang menyekat kemampuan pemilikan mereka. Maka isu ketiga yang Kempas bawakan ini adalah mengenai wujudnya keperluan yang mendesak untuk kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu dimiliki di kawasan bandar bagi memenuhi permintaan rakyat golongan B40 dan M40.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bukan setakat menyediakan, malah rumah mampu milik ini sebolehnya menepati citarasa, tampil dengan kualiti yang baik, menepati spesifikasi yang ditetapkan, sekaligus mengambil kira keselesaan rakyat dan kerajaan juga perlu memastikan apabila rumah tersebut disiapkan, ia dapat diserahkan pada pembeli atau penduduk dalam keadaan segera agar rumah tersebut tidak terbiar lama sehingga boleh mengundang masalah lain seperti kerosakan kecil pada rumah tersebut. Ini sebagaimana permasalahan yang sedang berlaku di Taman Desa Kempas yang memerlukan penyelesaian segera di mana 130 unit kediaman di sana masih belum didiami walaupun sudah hampir 20 tahun disiapkan berikutan tidak mendapat Sijil Layak Menduduki atau CCC. Kempas berharap pihak kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bersama pihak pemaju dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pembeli kerana rata-rata mereka sudah habis membayar pinjaman perumahan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu masalah kekurangan tempat letak kereta bagi kawasan projek perumahan rakyat ataupun PPR diharapkan dapat diberikan perhatian. Ketiadaan ruang tempat letak kereta yang mencukupi di PPR bukanlah masalah baru dan keadaan parking yang tidak cukup di parking secara berlapis-lapis keadaan ini amat menyulitkan jika berlaku kecemasan, Bomba dan ambulans sukar untuk masuk bagi memberikan bantuan, sejak sekian lama ianya menjadi semakin serius apatah lagi kereta milik penghuni yang bertambah tetapi jumlah petak parking tetap sama. Kempas sedar, perumahan rakyat ini begitu padat penduduknya dengan kawasan yang terbatas, ditambah pula kenderaan yang rosak dan terbiar yang menjadi antara punca kekurangan tempat letak kereta di kawasan PPR.

Yang Berhormat Datuk Pengerusi, Yang Berhormat Datuk Speaker, ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan ini turut menyumbang kepada permasalahan kerana

penduduk tidak mempunyai alternatif lain selain terpaksa menggunalan kenderaan sendiri sebagai pengangkutan utama mereka. Oleh itu, Kempas percaya kerajaan negeri mempunyai pendekatan yang tuntas bagi menyelesaikan isu berbangkit ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari ini bilangan kenderaan di atas jalan raya negeri Johor khususnya di kawasan bandar semakin meningkat lebih lagi apabila sempadan negara iaitu pintu masuk Tambak Johor telah kembali dibuka. Keadaan lalu lintas menjadi padat dan sesak terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan hari kelepasan am sekaligus menjadikan perkara ini sebagai isu keempat yang ingin Kempas bangkitkan. Kempas melihat terdapat keperluan utuk Bas Muafakat Johor diperkasakan semula. Kempas ingin menyampaikan penghargaan kepada usaha kerajaan negeri sebelum ini yang telah mewujudkan perkhidmatan Bas Muafakat Johor secara percuma pada rakyat yang diuruskan oleh Pengangkutan Awam Johor (PAJ). Bagaimanapun Kempas mendapati perkhidmatan bas ini kurang mendapat sambutan dari orang ramai mungkin kerana sebahagian dari jalan dan laluan perkhidmatan bas ini sukar dicapai oleh mereka.

Justeru itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas memohon kerajaan negeri melalui PAJ agar dapat mengkaji semula laluan Bas Muafakat Johor ini terutama di kawasan daerah Johor Bahru di mana laluan bas tersebut perlu melalui kawasan-kawasan perumahan berkepadatan penduduk yang tinggi dan yang amat memerlukan perkhidmatan ini seperti di kawasan PPR. Selain itu, kekerapan laluan bas pada waktu-waktu puncak agar dipertingkatkan harus rakyat dapat menjadikan perkhidmatan ini sebagai alternatif utama. Dengan adanya laluan yang lebih menyeluruh ke kawasan ini isu seperti kurang parkir di PPR akan dapat dikurangkan. Di mana penduduk mempunyai alternatif lain, selain terpaksa menggunakan dan membeli kenderaan sendiri untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga percaya dengan langkah ini, ia dapat mengurangkan kepadatan bilangan kenderaan di atas jalan raya sekali gus meringankan kesesakan lalu lintas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kelima yang Kempas panjangkan dalam ucapan ini adalah berkenaan isu pencemaran udara di kawasan banjaran Kempas. Tanah di kawasan ini adalah merupakan kawasan tanah pertanian tetapi terdapat beberapa kilang kitar semula atau recycle haram yang menjalankan operasi pelupusan sisa kilang dan barang tidak terpakai. Mereka kerap membakar sisa bahan terbuang ini yang telah menyebabkan penghasilan asap berkemungkinan mengandungi bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk setempat. Malahan ianya turut menghasilkan bau yang kurang menyenangkan terutama pada waktu pagi. Untuk makluman, keadaan ini sebenarnya telah berlarutan sejak sekian lama dan pernah beberapa kali dibangkitkan oleh Yang Berbahagia Datuk Nurjazlan pada ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Pulai. Yang Berhormat Kahang, YB apa ni, EXCO bukan Kahang, Kahang, telah juga apa ni melawat kawasan berkenaan ketika beliau menjadi EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar.

Bagaimana, bukan...Tenggaroh. Bagaimanapun agak merungsingkan apabila masih tiada jalan penyelesaian dapat diambil bagi mengatasi permasalahan ini. Justeru itu, Kempas memohon tindakan daripada kerajaan negeri untuk mencari penyelesaikan sekali gus melibatkan kerjasama daripada agensi atau jabatan kerajaan persekutuan untuk mengatasi isu yang dibangkitkan ini. Dan kalau perlu kita harus mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan kesalahan. Dan sewajarnyalah kejadian pencemaran Sungai Kim-Kim dan penyemaran udara Taman Mawar di Pasir Gudang pada tahun 2019 perlu kita ambil iktibar serta pengajaran agar ianya tidak berulang hanya kerana kerakusan pihak tidak bertanggungjawab serta ketiadaan tindakan penguatkuasaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara sejak hujung 2019 telah memberikan implikasi negatif yang cukup besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan merencatkan pembangunan, ramai rakyat negara ini kehilangan

pekerjaan kerana syarikat-syarikat terpaksa menghentikan operasi dan ada di antaranya mengecilkan saiz operasi bagi menanggung kos pengoperasian. Kempas melihat sendiri terdapat ramai rakyat yang telah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bagi mencari rezeki menyara diri dan keluarga sekali gus meneruskan kesinambungan kehidupan masing-masing

Dan ada di antara mereka ini memilih untuk meniaga secara kecil dan sederhana di rumah. Berkemungkinan atas faktor dari segi modal dan ruang berniaga yang menjadi cabaran kepada mereka. Justeru, Kempas ingin turut membawa harapan mereka kepada kerajaan negeri khususnya Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat menyediakan lebih banyak ruang perniagaan kepada golongan usahawan kita. Di samping itu, Kempas juga berharap proses bagi para usahawan mendapatkan lesen perniagaan perlulah dipermudahkan. Kalau boleh perkara yang melibatkan birokrasi membebankan diberikan perhatian dan diselesaikan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masa kini merupakan tempoh untuk golongan muda pimpinan kerajaan negeri, pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar amatlah mengiktiraf kewujudan dan keberadaan orang muda Johor. Sejak menjadi EXCO Belia dan Sukan, di bawah kepimpinan Yang Berhormat Dato’ Ir. Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Ke-18, orang muda Johor sentiasa mendapat tempat dan diberikan perhatian oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, malahan Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga mengiktiraf sukan, sukan elektronik atau e-Sports dan mereka yang menceburi sama ada aktif mahupun tidak, sukan ini amatlah dekat dengan golongan muda. Maka Kempas ingin panjangkan hasrat daripada orang muda di DUN Kempas iaitu keperluannya untuk diwujudkan pusat e-Sports di negeri Johor yang tidak lain bertujuan memacu orang muda Johor sebagai tunggak masa depan negeri. Sebagai memartabatkan orang muda Johor dan sukan ini, bangunan pusat e-Sports dengan ekosistem yang lengkap dan sistematik mampu menjadi hab sehenti dan destinasi mencungkil bakat pada masa hadapan. Inisiatif mewujudkan pusat e-Sports sama ada di peringkat negeri, daerah atau Parlimen ini akan membuktikan betapa kerajaan negeri sentiasa peka terhadap pembangunan orang muda Johor serta sukan elektronik di negeri ini. Di samping dapat melahirkan jaguh-jaguh sukan elektronik ini yang sudah mendapat tempat dalam banyak temasya sukan antarabangsa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Malaysia dan negeri Johor amnya sedang mengalami proses pemulihan dan kebangkitan setelah mengalami kesuraman akibat pandemik COVID-19. Tahun 2022 ini juga pasti mempunyai cabarannya yang tersendiri, bagaimanapun Kempas percaya segala halangan dan rintangan yang bakal dihadapi akan dapat kita sama tempuhi dengan penuh tekad untuk bersama menjayakan agenda memajukan Johor.

Akhir kata, Kempas akan menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Negeri Johor yang berada di dalam Dewan yang mulia ini untuk bersama membantu kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengharungi cabaran yang mendatang demi maju Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Kempas, tahniah, tepat masa. Dijemput Skudai.

Terima Kasih Datuk Speaker, Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan juga salam sejahtera. Saya memulakan perbahasan sulung sebagai Ahli Dewan yang mulia ini dengan menjunjung kasih atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tatkala berlangsungnya Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 pada minggu yang lalu.

Merafak sembah dan juga setinggi-tinggi tahniah buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas pelantikan sebagai Pemangku Raja. Alhamdulillah, sesungguhnya setiap butir titah Duli Yang Maha Mulia menjadi panduan dan pedoman untuk kita semua berbahas dengan harmoni demi kepentingan negeri dan juga bangsa Johor. Tahniah juga saya ucapkan kepada Ahli Dewan Negeri yang dipilih untuk mewakili suara rakyat di dalam Dewan yang mulia ini. Sesungguhnya, memikul tanggungjawab dan amanah itu bukan sesuatu yang mudah, berani untuk kita menggalas amanah ini maka tiada alasan untuk kita sambil lewa memikul tanggungjawab yang besar ini.

Saya juga dengan penuh keinsafan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Dewan yang mulia pada hari ini dengan mencerakinkan suara rakyat di Skudai kepada tiga titik tumpu iaitu yang pertama adalah pengukuhan demokrasi federalisme dan juga penguatkuasaan undang-undang yang kedua adalah mensejahterakan perumahan dan juga kemudahan. Dan yang ketiga membangun generasi harapan Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pengukuhan demokrasi federalisme dan juga penguatkuasaan undang-undang, saya mendukung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk menggalas amanah sebagai Ahli Dewan yang mulia ini dengan lebih bersemangat. Sehubungan dengan itu, saya juga mewakili suara rakyat Skudai ingin memberi segenap tumpuan terhadap usaha pengukuhan demokrasi federalisme dan juga penguatkuasaan undang-undang. Rasionalkan sempadan meningkatkan penglibatan masyarakat. Jika kita lihat pertambahan kumpulan pengundi melalui pembabitan seawal usia 18 tahun di negeri Johor bermula dengan perayaan demokrasi baru-baru ini merupakan satu bentuk terjemahan kemajuan demokrasi mengikut edaran dan juga kesesuaian zaman. Jadi usaha untuk memajukan dan memantapkan demokrasi ini perlu sama-sama kita lakukan dan teruskan dan untuk memastikan penglibatan segenap lapisan rakyat di setiap kawasan perwakilan mereka.

Lantaran itu, usaha selanjutnya harus ditumpukan kepada keseimbangan kawasan pilihan raya di negeri Johor bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan penglibatan demokrasi rakyat di setiap kawasan. Jika kita lihat peningkatan pengundi berdaftar di tujuh kawasan DUN Johor telah berlaku begitu amat ketara susulan persempadanan kawasan pilihan raya yang berlaku sebelum ini yang mana ianya mengakibatkan ketidakseimbangan suara berbanding hanya seorang perwakilan sahaja. Kalau kita lihat setakat ni, sebanyak 7 kawasan DUN memiliki jumlah pengundi berdaftar seperti kerusi sebuah Parlimen, malahan ada Parlimen yang kecil daripada itu, misalnya kalau kita lihat Skudai sendiri yang mana menerima kesan persempadanan tersebut dengan menyaksikan pertambahan sebanyak 31,900 orang pengundi pada PRN-15 berbanding PRU-14 dengan jumlah peningkatan sebanyak 45%. Dengan yang mana menunjukkan jumlah pengundi berdaftar kini adalah 102,828 orang. Kalau kita lihat juga di kawasan Kota Iskandar yakni kawasan YB Pandak Ahmad sendiri mengalami satu peningkatan bilangan pengundi sebanyak 72.79% iaitu daripada 67,371 pengundi kepada 116,415 pengundi. Ini makna peningkatan yang sangat banyak dan untuk kita kena fikirkan kembali bagaimana kita nak menyempadankan semula.

Seterusnya adalah federalisme hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor. Sehubungan dengan itu, Skudai ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak negeri Johor tentang usaha-usaha yang telah dilakukan untuk memurnikan ketidakseimbangan pengundi di setiap kawasan DUN bagi mendepani pertambahan pengundi baharu bagi melancarkan penglibatan masyarakat dalam demokrasi negara ini. Malahan sebenarnya saya amat tertarik dan menyahut Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk kita bersama-sama merenung dan mendakap kerangka federalisme yang terkait dengan pulangan yang diperolehi melalui hubungan antara kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri Johor.

Malah di bahagian saya sini, kalau kita lihat Ketua Pembangkang dari Perling yakni saudara YB Tuan Liew Chin Tong sendiri telah mencadangkan agar satu Jawatankuasa dibentuk

yakni Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalisme dan juga kuasa negeri dan kita lihat baru-baru ini ditekankan sekali lagi di dalam Dewan yang mulia ini. Oleh itu Skudai menyambut cadangan daripada Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan saya percaya ianya bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada Ahli-Ahli Dewan ini memainkan peranan proaktif dengan menjadikan Jawatankuasa berkenaan sebagai wadah untuk memperkasakan dan mempertahankan setiap hak yang memberi manfaat kepada negeri dan juga Bangsa Johor itu sendiri.

Seterusnya adalah penguatkuasaan teras kesejahteraan. Di kesempatan ini saya sebenarnya ingin menggesa peranan proaktif daripada agensi-agensi penguatkuasaan dalam mendaulatkan undang-undang membabitkan kesejahteraan rakyat. Kalau kita lihat isu-isu pencerobohan tanah hak milik kerajaan, pembuangan sampah haram dan juga kawalan subsidi berhampiran sempadan negara antara isu-isu yang sering kali membelenggu masyarakat di dalam negara dan negeri ini. Malahan isu ini telah berlarutan sekian lama tanpa satu penyelesaian yang bersifat kawalan tuntas. Jadi, sebenarnya peranan proaktif yang dimainkan bukan sekadar bagi menguatkuasakan undang-undang, sebaliknya perlu dimulai dengan pendidikan yakni kesedaran dalam kalangan masyarakat terlebih dahulu. Kerana apa, saya percaya penguatkuasaan undang-undang tanpa pendidikan kesedaran adalah satu perkara yang sia-sia dan memberi dan tidak akan memberi kesan panjang kepada masyarakat serta menjejaskan reputasi agensi penguatkuasan itu sendiri. Dan sistem penguatkuasaan kita ni sebenarnya penuh dengan undang-undang yang dapat menjadikan masyarakat dan rakyat itu lebih teratur tetapi kita harus fikir sejauh manakah undang-undang sedia ini dikuatkuasakan. Ini harus dikaji, jadi kita jangan menunggu satu permasalahan itu menjadi barah yang merebak, masa tu baru undang-undang yang dipakai hendak dipakai dengan betul. Waktu itu sukar untuk kita rawat akar permasalah tersebut.

Seterusnya adalah mensejahterakan perumahan dan kemudahan rakyat. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, perumahan tidak lagi ditafsirkan sebagai tempat berlindung semata-mata. Sorotan ilmiah para sarjana telah menghuraikan teras perumahan adalah selesa yang menymbang kepada kesihatan, kesejahteraan, keyakinan dan keselamatan penghuni malah perumahan selesa sedemikian juga menjadi kayu ukur kualiti hidup masyarakat bandar pada hari ini.

Teras seterusnya adalah perumahan dan juga kemudahan rakyat. Saya terlebih dahulu ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Bukit Permai selaku Pengerusi Jawatankuasa…

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Yang Berhormat Datuk Speaker, mohon panduan dan guide, maaf Yang Berhormat. Mengikut Peraturan 46(4), apabila berbangkit sesuatu perkara sama ada seseorang Ahli itu ada mengesyorkan Peraturan Mesyuarat tidak, maka perkara itu hendaklah diputuskan oleh Speaker atau Ahli yang mengetuai mesyuarat dan pengerusi dan keputusan itu hendaklah disifatkan muktamad di dalam segala masalah berkenaan dengan peraturan dan tatatertib. Yang Berhormat Speaker, Pekeliling mengeluarkan ‘wanita haruslah berbaju kurung teluk belanga bertudung, selendang bagi yang beragama Islam’. Mohon pencerahan Speaker.

Timbalan Speaker

Apa yang ada di hadapan kita Yang Berhormat Skudai telah pun mendapat Pekeliling daripada pihak Jurutulis, iaitu Pejabat Dewan. Yang berbunyi bahawa ‘pakaian untuk wanita, baju kurung teluk belanga, bertudung ataupun berselendang bagi yang beragama Islam atau blouse berlengan panjang dan skirt yang sekurang-kurangnya paras lutut’. Saya rasa lebih cantik lagi kalau ianya dapat dituruti untuk kemuliaan Dewan ini. Jadi dalam hal ini, oleh kerana Yang Berhormat Skudai pun pertama kali, saya harap ianya mendapat diambil perhatian dan diambil berat. Teruskan Skudai.

Teras seterusnya adalah perumahan dan juga kemudahan rakyat. Saya terlebih dahulu merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Bukit Permai selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan juga Kerajaan Tempatan dan juga Yang Berhormat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yakni Dato’ Hafiz dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor serta para sukarelawan Southern Volunteers Iskandar Puteri atas kerjasama dalam memudahkan proses penempatan semula beberapa orang penghuni kediaman di Flat Taman Jaya Skudai yang sebenarnya telah lama diisytiharkan tidak selamat lagi untuk dihuni. Yang mana penantian tersebut hampir 19 tahun, insya-Allah saya juga dimaklumkan ada beberapa keluarga lagi akan menyusul untuk dipindahkan.

Rentetan daripada isu tersebut, saya ingin menarik perhatian sidang Dewan ini tentang peri pentingnya usaha pemuliharaan dan juga pemeliharaan perumahan bertingkat kos rendah terutamanya yang menjengah usia senja. Selain Flat Taman Jaya tersebut Skudai turut menyaksikan keadaan Flat Taman Tunku Tun Aminah yang kini kian uzur di mamah usianya yang mana membabitkan pelbagai aspek seperti kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan. Dan saya juga percaya ada banyak lagi flat-flat usang ataupun flat-flat yang telah lama di kawasan-kawasan lain juga. Justeru itu, Skudai ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri tentang apakah usaha yang telah dilakukan untuk memulihara, memelihara dan memperkasakan pengurusan perumahan bertingkat kos rendah di negeri Johor.

Seterusnya, apakah pula langkah pihak kerajaan negeri dalam mengukuhkan penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata yakni Akta 757 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan melalui Pesuruhanjaya COB bagi meningkatkan kesejahteraan penghuni di perumahan berkenaan. Selain daripada itu, Skudai mohon maklum balas tentang angka Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Badan Pengurusan (MC) yang aktif di daerah Johor Bahru. Menyedari ketempangan dan pengurusan dalam pengurusan kemudahan dan penyelenggaraan yang menghantui perumahan bertingkat kos rendah tersebut, Skudai berpandangan adalah wajar sebenarnya bagi kerajaan persekutan untuk meyuntik dana khusus untuk mempermudahkan pengurusan rumah bertingkat kos rendah tersebut diselaraskan oleh pihak kerajaan negeri dan juga COB. Oleh itu Skudai ingin mendapatkan juga penjelasan tentang prosedur dan juga sejauh mana keberkesanan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPN) di negeri Johor ini sendiri. Dan kesedaran ini timbul sebenarnya tatkala perbandingan perumahan bertingkat di kawasan, di Malaysia itu sendiri terutamanya di Johor dan Singapura yang telah bertebaran di laman media sosial baru-baru ini. Tapi tahukah kita sebenarnya penyelenggaraan perumahan bertingkat HDB di Singapura dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan hanya membiarkan penduduk terkontang-kanting menguruskan melalui jawatankuasa yang dibentuk. Kadangkala ada setengah rumah pangsa yang murah ini ataupun flat murah ini mereka tiada JMB atau ada JMB tetapi tiada pihak yang benar-benar yang boleh membantu mereka untuk menguruskan. Kita sering disuap berkaitan pandangan buruk terhadap penghuni perumahan berkenaan dengan keadaan teruk dan sikap mereka tidak membayar yuran penyelenggaraan. Namun secara realitinya kita harus rangkul, tatkala mereka yang menghuni di perumahan tersebut rata-rata merupakan kelompok berpendapatan rendah dan di kalangan warga emas. Mungkin bayaran pengurusan RM30.00 sebulan bagi kita itu adalah murah, adalah rendah nilainya tetapi bayaran RM30.00 itu bagi mereka adalah beban kewangan yang harus ditanggung. Sehubungan itu, Skudai berpandangan bahawa campur tangan kerajaan ataupun state intervention dengan izin harus dipertimbang dalam usaha membantu mereka menikmati kembali kesejahteraan hidup. Dan saya sendiri percaya bahawa langkah tersebut sebenarnya mampu membantu isu penyelenggaraan di kawasan perumahan bertingkat kos rendah dengan kita sama-sama selitkan berkenaan dengan pendidikan serta bimbingan daripada pihak kerajaan melalui COB kepada penduduk di kawasan flat tersebut.

Dalam konsep, konteks tersebut saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas sebenarnya kepada Perbadanan Pengurusan Kenari Kangkar Pulai yang komited dalam mengubah dan mensejahterakan kejiranan mereka. Ucapan syabas tersebut turut dipanjangkan kepada agensi yang terlibat antaranya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan juga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sidang Dewan yang dihormati sekalian, keselamatan penyelenggaraan kemudahan awam. Menyentuh soal kemudahan rakyat ini, saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan negeri, agensi dan juga syarikat perlaksanaan tentang rintihan pengguna jalan raya dari laman facebook yang mana JB Tracer atau Johor Trafic Crime and Community Service Report semalam yang mana ini adalah berkisar tentang keadaan jalan raya di Skudai menuju ke Johor Bahru yang mana ini mengancam keselamatan dan nyawa mereka. Saya mohon perhatian dan tindakan daripada pihak kerajaan negeri supaya segera menaiktaraf dan membaik pulih keadaan jalan-jalan utama kawasan Skudai yang merupakan akses pengguna jalan raya dari arah Pulai, Kempas melalui Taman Impian Emas. Pontian menuju ke Johor Bahru dan juga sebaliknya. Di situ juga ada isu berkenaan dengan flyover Impian Emas yang mana kebanyakan penduduk menyatakan seolah-olah menaiki roller coster apabila melalui flyover tersebut. Jadi ketiadaan peruntukan yang mencukupi dinyatakan sebagai salah satu punca, jadi kerajaan negeri harus meneliti perkara ini.

Masalah keadaan jalan raya rosak di Skudai telah berlanjutan sekian lama dengan kadar tindakan turapan jalan yang bersifat sementara. Justeru itu, saya menggesa agar perhatian dan tindakan segera dapat ditumpukan di jalan raya tersebut demi keselamatan pengguna secara keseluruhan. Seterusnya saya ingin menyentuh soal sistem perparitan lama, taburan hujan yang tidak menentu akibat perubahan iklim sejagat telah memberi kesan kepada pengairan longkong di kawasan sekitar Skudai terutamanya di kawasan-kawasan perumahan lama dan juga kampung-kampung. Jadi keadaan sistem perparitan lama di kawasan Kampung Batu 18 ½ dan Taman Jaya, Damai Jaya misalnya telah menjadi satu punca banjir kilat yang membebankan penduduk setempat. Oleh itu saya memohon pencerahan daripada pihak kerajaan tentang status kerja-kerja naik taraf sistem perparitan lama di sekitar Skudai dengan perincian lokasi dan juga kos peruntukan yang telah disediakan oleh agensi-agensi pelaksana berkaitan serta strategi pihak kerajaan bagi memastikan lokasi-lokasi tumpuan banjir ini terhindar daripada banjir kilat untuk satu tempoh masa yang panjang.

Tidak ketinggalan juga saya ingin mengingatkan agar agensi dan juga syarikat pelaksana yang terkait dalam kerja-kerja membaik pulih kemudahan awam seperti penurapan jalan pembaikan kemudahan utiliti harus memastikan kerja yang dilaksanakan adalah sempurna dan berkualiti yang mana sekali gus dapat menjamin keselamatan masyarakat setempat.

Membangun Generasi Harapan Johor. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, sebagai mengakhiri ucapan perbahasan ini saya akan menyentuh soal kanak-kanak dan juga belia di bawah Teras Membangun Generasi Harapan Johor. Kanak-kanak amat dekat dengan saya dan juga kita semua. Mereka adalah pelapis dan juga pewaris yang bakal mencorak masa hadapan negeri ini. Namun kita perlu akui terdapat kekurangan dalam segelintir kanak-kanak ini yang harus sebenarnya kita berikan tekanan yang mana ataupun kita harus betulkan agar masa hadapan mereka ini tidak tercalar. Isu yang saya ingin tekankan di sini adalah tentang pembangunan moral dan sosial kanak-kanak dalam lingkungan usia 12 tahun dan ke bawah. Jika kita lihat kecanggihan teknologi komunikasi semasa bukanlah memudahkan semata-mata sebaliknya didatangkan sekali dengan begitu banyak cabaran pengurusan penggunaannya khususnya dalam kanak-kanak itu sendiri. Dan berdasarkan pengalaman di lapangan terdapat segelintir kanak-kanak khususnya di kawasan, kawasan kos rendah yang kehidupannya dipelihara oleh orang ketiga tatkala ibu bapa yang harus memberi tumpuan kepada pekerjaan. Ada juga kadang-kadang ibu sahaja yang terpaksa memberi tumpuan kepada pekerjaan kerana apa, kerana bapa sendiri ada kalanya berada di

penjara, kerana kawasan tersebut mungkin kawasan bermasalah dan sebagainya. Malah terdapat kanak-kanak yang pernah saya santuni sebelum ini berkongsi rasa permasalahan, berkongsi hati, berkongsi tentang permasalahan keluarga berpunca kerana sistem ekonomi semasa yang menghimpit ibu bapa mereka. Jadi lebih mengejutkan saya didatangi oleh seorang nenek yang berkongsi tentang ketagihan pornografi yang dialami oleh cucunya yang masih di bangku sekolah rendah akibat tiada bimbingan dan pemantauan penggunaan telefon bimbit itu sendiri.

Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu inisiatif penampan sosial kanak-kanak di kawasan perumahan kos rendah sekitar bandar harus diwujudkan oleh pihak kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kalau kita lihat usaha menyelamatkan tersebut bukan sekadar menyelamatkan kanak-kanak yang hanyut akibat kesilapan penggunaan teknologi komunikasi malah sebenarnya kita turut membantu ibu bapa yang terhimpit dek situasi ekonomi semasa. Inisiatif yang dicadangkan tersebut adalah persis kepada program pemulihan dalam komuniti ataupun PDK di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya yang ada di setiap daerah, Parlimen dan DUN dengan tumpuan dan kesesuaian khusus untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Malah sebenarnya saya turut tertarik dengan usaha pihak YPKDT menerusi program Permata Hati yang wajar sebenarnya untuk diperluaskan kepada kanak-kanak di kawasan perumahan kos rendah. Saya sendiri dahulu sebenarnya kerap melakukaan aktiviti bersama kanak-kanak di kawasan flat agar dapat menjadi rakan baik mereka dan kini usaha tersebut saya juga laksanakan di Skudai tetapi saya rasa dengan penglibatan pihak kerajaan sendiri kita boleh memperbanyakkan dan membantu lebih banyak kanak-kanak yang memerlukan.

Oleh itu, Skudai ingin mendapatkan pencerahan tentang salah guna teknologi komunikasi dalam kanak-kanak di samping statistik masalah ketagihan pornografi sedang membelenggu kumpulan tersebut di negeri Johor. Seterusnya, Skudai mohon juga mendapat penjelasan tentang usaha yang bakal dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mendepani kesan teknologi komunikasi berkenaan.

Dan yang terakhir adalah Gerakan Belia Bertani Johor. Kedaulatan makanan ataupun Food Solvency dan Keselamatan Makanan, Food Security merupakan 2 fokus penting yang perlu didepani bersekali dengan perubahan iklim sejagat. Malaysia kini kalau kita lihat menduduki tangga ke 39 pada tahun 2021 dalam Global Food Security Indexs yang mana kalau kita lihat penularan pandemik dan kerencatan ekonomi sejagat menyaksikan betapa pertanian menjadi sektor penting bagi mengukuhkan sumber makanan. Dan saya juga mengambil maklum dan menyambut baik langkah pihak kerajaan negeri.

Timbalan Speaker

Skudai, sila akhiri.

Ok. Akhir kata saya menggulung perbahasan pada petang ini dengan sekali lagi menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan menggesa agar peranan kita sebagai Ahli Dewan Mulia dapat dimanfaatkan dan digembleng bersama-sama dalam membangunkan negeri Johor ini. Muafakat itu berkat. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Skudai. Sekali pandang kita teringat tersalah, tengok macam Jementah pulak ye. Jemput diteruskan Yang Berhormat daripada Penawar. Pekan Nanas. Dah tersasulkan. (Dewan ketawa).

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Yang Berhormat Datuk Speaker, selamat petang dan salam sejahtera, salam Bangsa Johor dan salam Maju Johor. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dewan yang Mulia ini kerana memberi peluang kepada saya untuk turut serta di dalam sesi bahasan sidang Dewan kali ini dan juga kesempatan

untuk memberi ucapan balas kepada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim semasa pembukaan Dewan yang lalu.

Terlebih dahulu saya juga ingin memberi kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenaan Baginda membuka sidang Dewan yang lalu. Saya juga merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja Johor sebagaimana yang diperkenankan oleh Baginda Sultan Johor pada pembukaan sidang Dewan Khamis lalu. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah dipilih oleh rakyat di dalam Pilihan raya Negeri Yang Ke-15 tempoh hari. Marilah sama-sama kita berganding bahu membawa hasrat dan suara rakyat untuk didengari dan bantu semampu yang boleh dengan adil dan penuh ketulusan. Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi dengan perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor Ke-19. Saya percaya Yang Amat Berhormat Datuk sebagai seorang muda pasti mempunyai pandangan dan idea yang lebih segar untuk memajukan negeri Johor yang sejahtera ini. Ini terbukti dengan pelbagai tindakan proaktif Yang Amat Berhormat Datuk untuk memantau fasiliti perkhidmatan awam negeri Johor dengan menjadi undercover. Juga syabas kepada barisan EXCO kerajaan negeri Johor yang dilantik mengetuai portfolio masing-masing, semuanya juga ada mereka yang saya lihat amat progresif dan mempunyai latar belakang serta pengalaman yang luas mengikut kepakaran masing-masing. Satu barisan EXCO kerajaan negeri Johor yang saya percaya akan membantu menggalakkan jentera pentadbiran kerajaan negeri dengan lebih efisyen ke arah yang lebih maju pada masa hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya selaku ADUN Pekan Nanas ingin mengemukakan beberapa usul yang perlu diberikan perhatian. Yang pertama, usul tentang capaian Internet atau jalur lebar, sepertimana yang kita semua sedia maklum, Internet pada masa ini adalah satu yang amat diperlukan di segenap kawasan di dalam negara ini. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pandemik COVID-19 semua urusan adalah beralih dari secara fizikal kepada secara talian atau online. Seperti mana yang Berhormat Datuk Speaker sedia maklum, Pekan Nanas merupakan sebuah kawasan luar bandar dan isu capaian Internet yang tidak memuaskan ini sudah menjadi satu isu yang lama dihadapi dan acapkali diketengahkan kepada pihak berwajib. Walaupun Pekan Nanas adalah kawasan luar bandar namun kegiatan ekonomi di kawasan ini adalah sangat rancak dan semakin terus berkembang. Oleh itu, Pekan Nanas amat memerlukan satu jaringan capaian Internet yang baik demi terus memacu perkembangannya.

Kerajaan pada hari ini amat progresif untuk memajukan negara yang kita cintai dan dalam pencapaian matlamat ini, saya sarankan agar kerajaan tidak mengabaikan kepada dasar iaitu jaring pencapaian Internet yang baik di setiap kawasan, tanpa kira sama ada kawasan bandar atau luar bandar. Jika kita telusi pada tahun 2020, ketika negara dilanda dengan wabak COVID-19, semua aktiviti fizikal terhenti dan telah beralih kepada platform digital. Pada ketika kerajaan menjalankan dasar pendigitalisasi hampir kepada semua sektor perkhidmatan tetapi jaring capaian Internet yang teruk terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Pekan Nanas telah merencatkan keseimbangan dasar ini. Sebagai contoh, sektor pendidikan sekarang dan selepas wabak COVID-19 banyak bergantung kepada platform digital dan Internet. Saya sendiri mendengar rungutan dan aduan daripada pihak sekolah di kawasan-kawasan yang tentang capaian Internet yang teruk di kawasan kampung-kampung. Inilah menyebabkan mereka memerlukan lebih masa untuk bersaing dengan kerancakan pendidik menggunakan platform Internet ini. Kita tidak seterusnya membiar anak-anak kita yang masih di bangku sekolah ketinggalan jauh dalam arus pendidikan

digital, mereka juga layak untuk mendapatkan pendidikan seiring seperti kanak-kanak di kawasan bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jangan diketepikan kawasan luar bandar seperti Pekan Nanas ini lakukan penaiktarafan capaian Internet yang menyeluruh terhadap semua kawasan supaya kami mendapat perkhidmatan yang sama attention seperti kawasan bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, yang kedua usul mengenai kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan Pekan Nanas. Kejadian banjir di Pekan Nanas sudah berlarutan lebih daripada 40 tahun dahulu, ini bukanlah satu isu yang baru berlaku sehari dua. Masyarakat di kawasan Pekan Nanas juga sudah lali dengan isu banjir ini, lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat yang berterusan maka berlaku banjir kilat yang menjejaskan kehidupan mereka, memindah barang, mencari bantuan ketika banjir adalah perkara yang mereka hadap sendiri lebih daripada 40 tahun dahulu. Saya sudah berkali-kali membawa isu kepada pihak yang berwajib untuk mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya, bahkan sebelum saya dipilih sebagai Wakil Rakyat lagi saya sudah berjuang untuk isu ini namun sehingga ke hari ini tiada penyelesaian yang kukuh dilaksanakan.

Sebagai data daripada Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Pontian pada tahun 2020, berlaku 6 siri banjir yang melibatkan 5 kawasan di Pekan Nanas dan menjejas lebih daripada 20 buah keluarga. Pada tahun 2021 pula, 4 siri banjir dilaporkan di 5 buah kawasan yang sama menjejaskan 21 buah keluarga dan lagi pada tahun ini setakat bulan Mei, 31 rumah keluarga terjejas di lebih kurang 6 buah kawasan Pekan Nanas kesemua keluarga terjejas ditempatkan di beberapa buah PPS. Ini baru data yang dikeluarkan oleh JPBD.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maklumat dan data lain yang saya terima daripada Penghulu atau Ketua-ketua Kampung masih ada keluarga yang enggan berpindah ke PPS kerana bimbang akan harta benda dan rumah mereka diceroboh. Oleh itu, angka ini bukan sahaja seperti data rasmi yang dikeluarkan dan adalah lebih tinggi daripada itu. Bukan itu sahaja, keluarga yang terjejas dan juga mengalami kerugian yang besar kerana banjir bukan berlaku sekali dua dalam setahun tetapi lebih dari lima kali. Saya faham akan jawapan balas diberi oleh YB EXCO sewaktu bersidang 2 hari lepas. Namun, sampai bila kaji demi kaji ini ingin dilakukan? Apa dahulu tiada kaji yang menyeluruh? Sehingga kini data masih sama. Rakyat juga ingin melihat tindakan yang lebih proaktif yang dilaksanakan bagi menangani isu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha projek rumah mampu milik di kawasan Pekan Nanas. Perumahan mampu milik adalah satu isu yang saya dapati amat kritikal amat diperlu di DUN Pekan Nanas pada masa ini dengan peningkatan jumlah penduduk Pekan Nanas, isu perumahan mampu milik sering dibicarakan oleh penduduk sekitar. Sehingga hari ini, projek perumahan mampu milik di Pekan Nanas masih tiada dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perumahan memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sosio ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Rumah berfungsi sebagai tempat berlindung dan menyedia persekitaran hidup aktif yang boleh mempengaruhi dan membentuk perilaku manusia, produktiviti dan pembangunan. Selaras dengan amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari yang itu fokus keempat, menyedia kemudahan dan keperluan asas. Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyentuh tentang setiap warga Johor berhak untuk mendapatkan rumah yang selesa bagi kehidupan mereka dan keluarga. Oleh itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, Pekan Nanas juga hendak mendapatkan rumah mampu milik khusus untuk perumahan B40 dan M40 yang tinggal di kawasan saya. Saya percaya Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri

Johor sedang berusaha gigih bagi memastikan isu ini dapat menyelesaikan dan saya berharapan mendapat satu respon terbaik dapat diberikan kepada warga Pekan Nanas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha untuk menaiktaraf jalan utama Pekan Nanas. Isu kerosakan yang berulang di jalan utama Pekan Nanas ke Pontian sudah berulang kali saya suarakan kepada pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Ini bukanlah satu isu baru yang dialami malah merupakan isu yang berulang kali menjadi keluhan masyarakat setempat. Jalan utama Pekan Nanas ke Pontian merupakan laluan utama dan kerap digunakan bagi menghubungkan Johor dan Pontian. Saban hari pengguna jalan raya yang melalui laluan ini kian bertambah disebabkan faktor ingin ke tempat kerja, ke pejabat-pejabat kerajaan di daerah Pontian dan lain-lain tujuan. Selaras dengan kepesatan sektor ekonomi di daerah Pontian sejak beberapa tahun belakang ini, pelabur juga banyak masuk ke daerah Pontian. Adalah semestinya laluan jalan utama Pekan Nanas ke Pontian menjadi laluan utama yang digunapakai bagi meningkatkan lagi sektor ekonomi, setempat saya sendiri mengambil inisiatif bagi menarik lebih banyak pelabur luar dan pertanyaan mereka adalah bagaimana lori muatan besar ingin melalui jalan seperti ini, tidakkah ini lebih merugikan ekonomi kita?

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, beberapa siri kemalangan juga telah berlaku di jalan ini akibatkan keadaan jalan yang berlubang, kebanyakan yang didapati sering terlibat dengan kemalangan adalah penunggang motorsikal sehingga ada yang berlaku nyawa. Adakah kita ingin tunggu lagi ramai pengguna jalan raya yang terkorban baru kita mahu bertindak? Kebanyakan kita juga saudara mara kita tidak perlulah kita menunggu sudah terhantuk baru terngadah. Hasil kaji oleh jabatan kerajaan, hasil kaji Jabatan Kerja Raya Daerah Pontian mendapati perlunya pemulihan jalan dilaksanakan daripada dasar jalan raya itulah sendiri. Ini kerana tanah di kawasan tersebut merupakan tanah gambut dan mudah lembap. Disebabkan itu keretakan sering berlaku jika dilalui oleh kenderaan berat seperti lori misalnya. Dan perkara ini memerlukan kos yang amat tinggi bagi dilaksanakan. Makluman yang saya terima daripada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor dan JKR Pontian baru-baru ini, jalan utama merupakan jalan di bawah sedia laluan kerajaan persekutuan boleh rujuk FT005 Jalan Johor ke Melaka Seksyen 30.50-85.90. Isu ini juga sudah dibangkitkan banyak kali kepada kerajaan persekutuan namun masih tiada maklum balas yang kukuh hingga kini. Kita ingin, kita inginkan ekonomi daerah Pontian terus bergerak aktif. Oleh itu, asasnya iaitu jalan utama yang menjadi sebagai perhubungan ini perlu dinaik taraf dan diperbaiki secara menyeluruh. Saya yakin sekiranya dengan ada penaiktarafan jalan ini sudah pasti sektor ekonomi Pontian akan lebih berkembang dengan lebih pesat dan seterusnya dengan menyumbang kepada pembangunan daerah dan negeri Johor yang lebih mampan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu mengenai tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas. Masalah tapak perpindahan sampah di Pekan Nanas sudah berlarutan sejak sekian lama iaitu 55 tahun tanpa sebarang tindakan proaktif daripada pihak yang berwajib. Kawasan tempat pelupusan sedia ada yang terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan penempatan penduduk menyebabkan perkara ini menjadi polemik dalam kalangan penduduk setempat. Banyak aduan yang saya terima berkaitan pencemaran bau yang mengganggukan kehidupan seharian mereka.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli di Dewan yang mulia, petisyen bantahan yang ditandatangani oleh lebih 7,000 penduduk sudah mereka serah kepada pihak yang berwajib. Bahkan beberapa sering protes aman yang juga telah dilakukan bagi membantu membatalkan cadangan pembinaan stesyen pemindahan sesi penjaja seluas kira-kira 3 hektar di Kampung Air Putih Pekan Nanas juga telah dibuat. Rungutan demi rungutan juga telah disuarakan oleh mereka tentang kebimbangan penduduk setempat ekoran daripada ianya terlalu dekat dengan penempatan penduduk. Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya dinilaikan kembali tapak pemindahan sampah ke satu kawasan

yang bersesuaian dan jauh daripada penempatan penduduk, hal ini demi kesejahteraan penduduk dan alam sekitar di kawasan Pekan Nanas. Saya juga amat berharap dan mencadangkan pihak berwajib boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi pelupusan dan pengurusan sisa pepejal yang lebih moden. Laksanakan kajian yang menyeluruh dengan mengambil kira kesan terhadap penduduk setempat sebelum melaksanakan apa-apa tindakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha mengenai menaik taraf Hospital Pontian..

Timbalan Speaker

Sila pendekkan.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Ok. Hospital Pontian itu pun, dah bertapak lebih daripada 95 tahun dan merupakan satu-satu hospital yang di daerah Pontian. Dan sampai hari ini, hospital ini menerima jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan yang tinggi dan angka ini terus meningkatkan dari masa ke semasa. Namun apa yang di merisaukan adalah fasiliti kesihatan yang masih tidak dinaik taraf kepada fasiliti yang lebih moden. Disebabkan ramai pesakit yang tidak dapat dirawat di Hospital Pontian terpaksa merujuk ke Hospital Sultanah Aminah Johor atau hospital lain yang berada di luar daerah Pontian. Ini menimbulkan isu tentang kesukaran waris yang tinggal di daerah Pontian untuk mengulang-alik ke hospital JB. Untuk maklum Yang Berhormat Datuk Speaker, Hospital Pontian juga merupakan satu hospital yang didapati amat cemerlang dan sebuah hospital yang berprestasi tinggi dengan beriktirafkan sijil akreditasi sehingga tahun 2011. Bukan itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker, Hospital Pontian juga diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi Kali Ke-6 bagi tempoh 3 tahun...

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pekan Nenas, sila akhiri perbahasan.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Ok, terima kasih. Sejak 2015 hingga 2021, Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kalam saya harap usul-usul dan isi-isi yang diketengahkan di dalam Dewan yang mulia ini akan dikaji dan mendapat perhatian sewajar oleh pihak berwajib. Saya sebagai Wakil Rakyat akan terus memperjuangkan dan membawa suara rakyat di kawasan saya demi kesejahteraan mereka dan generasi Pekan Nanas kelak. Saya mendukung titah ucapan Tuanku Sultan untuk membawa Johor Maju Demi Bangsa Johor. Sekian, terima kasih. Pekan Nanas mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih Pekan Nanas. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 3.50 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.30 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3.50 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Dijemput, YB Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Selamat petang dan salam sejahtera, Yang Berhormat Datuk Speaker. Bentayan ingin mengambil bahagian untuk membahas usul menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sempena Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Bentayan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi menyampaikan titah Baginda kepada Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Bentayan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Speaker, Timbalan Datuk Speaker,

dan juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli MMK dan semua Ahli Dewan yang dipilih dan kepada kerajaan Barisan Nasional sebagai kerajaan yang baharu. Bentayan juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi di kawasan Bentayan yang telah memberi sokongan dan peluang kepada saya untuk sekali lagi mewakili mereka dalam Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Dewan ini merupakan forum terbaik bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri berbincang mengenai isu-isu rakyat dan memberi buah fikiran kepada kerajaan negeri supaya dapat membawa negeri Johor ini ke satu tahap yang jauh lebih baik dari sekarang. Dan tidak menjadikan perbezaan ideologi politik sebagai penghalang untuk mencapai matlamat ini. Untuk mencapai matlamat ini, Ahli Dewan Undangan Negeri perlu memberi cadangan yang lebih teratur dan konstruktif dan disokong oleh fakta-fakta dan data-data yang tepat kepada kerajaan negeri. Dan ini memerlukan masa yang panjang untuk mencari, menyelidik dan mengumpul data mengenai satu isu. Kita sedia maklum bahawa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri memang tiada masa yang cukup untuk melakukan kerja-kerja kajian dan atau penyelidikan. Maka, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri memerlukan seorang pegawai penyelidik yang berperanan untuk membantu dalam menjalankan penyelidikan berkaitan pelbagai isu atau topik rakyat. Dengan adanya sokongan daripada pegawai penyelidik, ini akan menambah baik dinamik dan kualiti perbahasan bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri.

Dalam Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14, mantan Menteri Besar pernah menyebut bahawa kerajaan negeri akan mengambil insiatif untuk melantik 10 orang pegawai penyelidik. Tetapi inisiatif ini tidak dilaksanakan sehingga sekarang. Maka, Bentayan ingin mencadangkan kepada kerajaan yang baharu ini agar melaksanakan inisiatif ini dalam penggal ini. Jika boleh, biarlah setiap hari Dewan Undangan Negeri mempunyai sekurang-kurangnya seorang pegawai penyelidik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kenaikan harga barang menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini memandangkan ianya sangat membimbangkan tambahan pula harga semua barangan keperluan dijangka meningkat sehingga 60% bulan ini, Jun. Berikutan kerakusan peniaga dan kartel yang mengambil kesempatan situasi terkini dunia. Rakyat Malaysia telah merasakan kenaikan harga barang keperluan semenjak bulan Ramadan lagi.

Apabila harga barangan keperluan asas kritikal seperti daging, ayam dan sayur-sayuran melampau tinggi. Kenaikan harga barangan mentah boleh mengakibatkan kesan rantaian yang melibatkan peningkatan kos dalam industri makanan dan minuman (F&B). Persoalannya, kenapa harga barang naik? Satu, barangan makanan yang diimport mengalami kenaikan harga susulan perang Rusia – Ukraine yang telah menjejas sektor import dan mengakibatkan penawaran kurang berbanding permintaan yang tinggi.

Dua, kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia menyebabkan peningkatan harga barangan import bagi kilang-kilang yang mengimportkan bahan mentah. Situasi menyebabkan peningkatan kos pengeluaran. Akhirnya, beban kos tersebut berpindah kepada pengguna. Harga haiwan ternakan juga mengalami kenaikan apabila harga makanan haiwan bertambah mahal memandangkan ianya juga diimport. Misalnya, negara kita perlu mengimport RM3.09 bilion jagung setahun untuk kegunaan sektor ternakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara ini jelas menunjukkan bahawa jaminan makanan dan sektor pertanian harus diberi keutamaan bagi membina asas untuk menambahbaikkan supaya kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import. Bentayan menyambut baik tindakan kerajaan negeri yang meletakkan agenda jaminan bekalan makanan sebagai salah satu strategi Pemulihan Ekonomi Johor dalam Belanjawan 2021. Bentayan ingin tahu selepas satu tahun, apakah perkembangan terkini ataupun pencapaian yang telah dicapai di bawah Agenda Jaminan Bekalan Makanan ini?

Misal, adakah Jawatakuasa Sekuriti Makanan Negeri telah ditubuhkan? Apakah insentif yang telah diberi untuk mengoptimumkan penggunaan mana-mana tanah yang berada di bawah Program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Jom Pelaburan Makanan Negeri (JPMM) dan Jom Tanaman Makanan (JTM) bagi tujuan pemakanan. Adakah tanah terbiar di setiap daerah berjaya dikurangkan? Dan apakah status inisiatif lain yang telah dibentang dalam Belanjawan 2021?

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha menjaminkan sumber makanan yang mencukupi, selamat dan harganya berpatutan. Pelbagai langkah melalui Program Peningkatan Pengeluaran Dan Produktiviti telah dicadangkan. Antara cadangan lain yang diutarakan adalah:

1. Mengaplikasikan model pengeluaran tanaman industri supaya sektor pengeluaran makanan menjadi lebih berdaya saing dan komersial.

2. Menarik minat lebih ramai anak muda untuk menjadi usahawan tani dan pada sama menangani isu pengangguran.

3. Melaksanakan polisi guna tanah seperti pengisytiharan tanah khusus untuk pertanian dan meningkatkan kegunaan tanah.

4. Memperkasakan penyelidikan dan pengeluaran pelbagai mempelbagaikan jenis tanaman supaya dapat meningkat pengeluaran dan produktiviti.

5. Mewujudkan rizab strategi sekuriti makanan dengan menyimpan stok makanan yang mencukupi untuk kegunaan ketika kecemasan.

6. Membangunkan industri rantaian bekalan bagi sektor pertanian seperti baja dan makanan haiwan yang melibatkan seluruh komponen dalam rantaian makanan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada hasil import dari luar negara.

Masalah kekurangan bekalan makanan yang negara kita hadapi sekarang bukanlah kali pertama dan bukan juga buat kali terakhir. Justeru langkah-langkah perancangan awal perlulah dilaksanakan mulai sekarang supaya negara tidak mengalami masalah kekurangan makanan pada masa hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini kerajaan negeri Johor menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah melancarkan beberapa inisiatif baru bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor. Inisiatif ini adalah satu, adalah untuk memudahkan urusan rakyat dengan cara mengurangkan dokumen permohonan dan meningkatkan, mensingkatkan proses pengurusan sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi atau red tape. Ini menunjukkan satu langkah yang bagus untuk menambah baik kualiti perkhidmatan agensi kerajaan. Diharap perkara ini menjadi satu titik permulaan supaya inisiatif-inisiatif baharu seumpama ini dapat dilaksanakan di seluruh agensi kerajaan supaya kualiti penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan dalam masa yang singkat. Semua agensi kerajaan merupakan agen barisan hadapan yang berurusan secara terus dengan rakyat. Sehubungan dengan ini, kualiti perkhidmatan mereka memberi gambaran dan persepsi kepada rakyat mengenai perkhidmatan kerajaan secara keseluruhannya. Kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan merupakan penanda aras utama bagi prestasi perkhidmatan awam. Hal ini kerana walaupun perkhidmatan awam tidak bermatlamatkan keuntungan tetapi fungsi utamanya tetap adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan memastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Aspektasi tinggi rakyat terhadap kualiti perkhidmatan awam ini menuntut kerajaan supaya terus meneliti dan menkaji semula kualiti perkhidmatan sedia

ada. Sekiranya prestasi dan kualiti yang diberi tidak setanding dengan aspektasi maka langkah-langkah transformasi harus dijalankan. Tahap kualiti perkhidmatan boleh dinilai seperti berikut :

1. Keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan dengan lebih pantas dan tepat.

2. Pengetahuan dan insan penjawat awam dan keupayaan mereka untuk memberi inspirasi kepada kepercayaan dan keyakinan.

3. Kemudahan fizikal, peralatan, kakitangan dan bahan komunikasi.

4. Perhatian petugas hemah untuk melayan pelanggan.

5. Persediaan untuk membantu pelanggan dan segera memberikan perkhidmatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya aspektasi rakyat terhadap perkhidmatan awam adalah mudah. Iaitu segala urusan awam harus ringkas, kurangkan kerenah birokrasi, prosedur yang mudah, masa pemprosesan yang pendek dan mendapat respons atau jawapan dalam tempoh masa yang dijanjikan. Penjawat awam harus sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan khidmat kepada pelanggan. Peningkatan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam bukan sahaja akan menyenangkan rakyat bahkan juga akan meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan pengurusan kerajaan. Dan akhirnya mendorong kepada kepesatan pembangunan sosial dan ekonomi negeri. Maka satu sistem pemantauan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam juga perlu diwujud supaya kualiti perkhidmatan awam sentiasa konsisten dan bertambah baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hujan lebat telah menjadi fobia kepada rakyat. Terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah. Baru-baru ini kita boleh lihat di mana-mana tempat di negeri Johor juga boleh berlaku banjir kilat. Tidak kiralah bandar raya, bandar atau kampung. Punca utama yag menyebabkan sering berlakunya banjir adalah perubahan iklim, pembangunan yang tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan dalam penyelenggaraan sistem saliran. Menurut data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, purata suhu permukaan Malaysia meningkat antara 0.14 hingga 0.25 darjah Celcius setiap dekad antara tahun 1970 hingga 2013. Manakala purata suhu Malaysia juga menunjukkan chartery menaik iaitu 24.93 darjah Celcius semasa 1964 hingga kepada 26.05 darjah Celcius menjelang 2020 menunjukkan peningkatan suhu lebih 1 darjah lebih panas. Suhu permukaan di Johor Bahru pula naik sehingga 6.7 darjah Celcius dalam jarak masa antara 2005 hingga 2018. Ini menunjuk, ini mungkin disebabkan oleh kesan Pulau Haba Bandar, Urban Heat Island, dengan izin fenomena yang terjadi apabila bahan yang banyak diguna di bandar seperti konkrit menyerap dan memancarkan semula lebih haba matahari berbanding landskap semula jadi. Dan suhu yang lebih tinggi juga akan menyebabkan lebih banyak air tersejat dari daratan dan lautan. Dan mengubah corak, corak hujan dianggapkan bahawa atmosfera mengekalkan 7% lebih banyak kelembapan untuk setiap kenaikan 1 darjah. Memandangkan lebih banyak kelembapan di atmosfera, hujan menjadi lebih lebat sehingga seterusnya membawa kepada banjir, banjir. Perubahan suhu juga mempengaruhi ekosistem cuaca monsun yang mengawal taburan hujan, hujan yang luar biasa ini menyebabkan tebing sungai melimpah dan tidak dapat ditampung sistem perparitan sedia ada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, siapakah yang bertanggungjawab menyelaras segala kerja atau tindakan yang menangani masalah banjir di negeri Johor? Kerana apa yang dilihat sekarang adalah jabatan dan agensi termasuk PBT, JKR, JPS, JAS, PLAN Malaysia dan sebagainya sentiasa bertindak sendiri atau secara solo tanpa sebarang penyelarasan antara jabatan atau agensi. Sebenarnya teknologi hari ini sudah cukup canggih untuk mendalami masalah banjir. Terdapat pelbagai model atau cara berbeza yang digunakan di seluruh

dunia untuk kita ambil sebagai rujukan untuk mengatasi masalah ini. Saya percaya kita juga mempunyai tenaga pakar yang cukup berpengalaman dalam menjalankan program-program penyelidikan dan perundingan cuma ianya perlu mengambil masa yang panjang untuk melihat hasilnya. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa fenomena banjir di bandar ini akan berlaku dengan lebih kerap pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, penting untuk kita mengurangkan kekerapan dan kesan daripada kejadian banjir kilat di semua kawasan, maka pelan tindakan dan strategik jangka panjang adalah sangat diperlukan. Oleh itu, kerajaan negeri perlu menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan antara jabatan dan agensi untuk menyelaras segala kerja, strategi dan peruntukan untuk menangani masalah banjir di peringkat negeri mahupun di peringkat daerah supaya segala tindakan dapat diambil dengan lebih terancang dan berkesan untuk menangani masalah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sistem saliran dan perparitan yang sedia ada di daerah Muar telah pun berusia lebih daripada 30 atau 40 tahun, akan tetapi kemajuan pembangunan yang pesat menyebabkan saliran sedia ada tidak lagi dapat menampung kapasiti saliran air. Apa yang berlaku dalam tempoh 3 tahun ini menunjukkan bahawa semakin banyak kawasan yang dilaporkan mengalami banjir kilat walaupun hujan lebat turun hanya kurang lebih 1 jam..

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bentayan sila gulung.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Baik. Maka sudah tiba masanya untuk sistem saliran dan perparitan di keseluruhan daerah Muar disemak dan dikaji semula supaya dapat memenuhi keperluan kadar pembangunan yang semakin pesat pada masa yang akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, satu inisiatif telah diambil oleh Majlis Perbandaran Muar dengan kerjasama UTHM, di mana mewujudkan Master Plan Kajian Dalam Inventori dalam Bandar Maharani dengan bertujuan untuk menentukan dan menyediakan pangkalan data aset hidrologi atau hidraulik di dalam kawasan lembangan yang telah ditentukan menggunakan teknologi dan aplikasi GIS. Selain itu, kajian ini dapat mengoptimumkan keberkesanan rangkaian infrastruktur yang sedia ada dengan cara yang dapat memenuhi keperluan masyarakat. Dengan menyediakan model terkini, data dan maklumat banjir yang konsisten di seluruh kawasan kajian yang telah ditetapkan bagi membolehkan komuniti atau pihak yang berkepentingan merancang dengan lebih baik dan mengurangkan kesan banjir pada masa hadapan. Bentayan percaya bahawa cabaran yang, bagi penemuan ataupun cadangan kajian ini nanti adalah peruntukan yang mencukupi untuk melaksanakan segala tindakan daripada kajian untuk mengatasi masalah banjir di Bandar Maharani. Maka Bentayan ingin menyeru kerajaan negeri supaya menyokong Master Plan ini dengan memperuntukan peruntukan yang mencukupi kerana Maser Plan ini penting supaya jabatan dan agensi tidak bertindak secara solo atau hal masing-masing. Penemuan kaji tersebut ini nanti diharapkan agar dapat...

Timbalan Speaker

Akhiri.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Sikit lagi. Agar dapat diguna pakai untuk berdaya laksana antara agensi tentang tugas dan skop masing-masing supaya lebih terkhusus. Akhirnya, Bentayan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberikan peluang pada Persidangan kali ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Bentayan. Dijemput YB Kemelah.

Salam Muafakat Johor, salam Segamat Selamat, salam Maju Johor dan salam Keluarga Malaysia. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang

diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan di Mesyuarat Kedua Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Saya ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sukacitanya saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran kerajaan negeri yang baru di bawah kepimpinanan Yang Amat Berhormat sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 serta barisan EXCO yang telah dilantik. Tahniah juga kepada Yang Berhormat Rengit sebagai Speaker Dewan Negeri Johor dan juga Yang Berhormat Semarang, Timbalan Speaker Negeri Johor. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada Tan Sri Dato’ SS di atas pengurniaan pingat Tan Sri baru-baru ini.

Awal bicara tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya tuturkan di Dewan yang mulia ini selain ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar selaku pemimpin tertinggi dalam pentadbiran negeri yang telah menyampaikan amanat beberapa hari yang lalu. Ingin saya memetik sedikit titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang mana Baginda menzahirkan perasaan sedih, apabila melihat berapa bangunan kerajaan di Johor yang tidak diselenggara dengan baik. Di daerah Segamat, saya dapat melihat dan telah pun menegur pegawai berkaitan tentang pejabat Imigresen yang keadaannya terlalu uzur bagi saya, memandangkan pejabat ini menjadi tumpuan bukan sahaja warganegara bahkan penduduk luar negara. Dengan pendawaian letrik yang bersilang-silang, tidak kemas dan terlalu rendah sehingga begitu hampir dengan aras ketinggian pelanggan disitu. Mungkin perkara ini boleh diketengahkan demi keselamatan dan perkara ini dan mencerminkan pejabat kerajaan yang lebih sempurna.

Bukan sahaja pejabat Imigresen, taman riadah juga perlu juga diselenggarakan. Ada juga TADIKA KEMAS yang menumpang bangunan dan tidak berpagar di DUN Kemelah. Saya berharap perhatian serius diberikan pihak berwajib bagi menyokong pendidikan awal kanak-kanak ini. Sekolah Agama dan Sekolah Tamil juga perlu diberikan keselesaan kepada pelajar supaya mereka lebih minat untuk hadir ke sekolah di DUN Kemelah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maka mendukung hasrat yang sama saya juga ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini terhadap beberapa perkara yang cukup penting dan perlu diutamakan oleh kita semua selaku pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab membawa harapan yang besar. Terdapat beberapa isu utama dalam DUN saya, dimana ADUN berdekatan juga turut mengalami isu yang sama ketika musim perayaan baru-baru ini. Masalah bekalan air yang kerap terputus di kawasan FELDA Redong dan FELDA Kemelah, bukan sahaja dalam tempoh sebulan, seminggu bahkan ia terlalu kerap sehingga berlaku dua, tiga kali dalam tempoh satu minggu hingga menyebabkan penduduk kerap kali menghubungi kita selaku Wakil Rakyat tanpa henti memarahi dan mengatakan seolah-olah kita tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyelesaikan perkara ini. kita semua maklum bekalan air adalah penting bagi setiap orang dan kejadian ini dilaporkan sudah terlalu lama berlaku dan masih lagi di takuk lama sedangkan saya dimaklumkan peruntukan telah disediakan untuk permasalahan ini. Namun, ianya masih lagi belum dapat diselesaikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, warga Segamat menyambut baik naik taraf Majlis Daerah Segamat kepada Majlis Perbandaran Segamat yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2018. Waimah rakyat Segamat bergembira dengan perkhabaran ini, terdapat juga kegusaran yang sangat memerlukan perhatian. Hal ini adalah menyentuh tentang infrastruktur jalan raya di Segamat. Pertamanya Yang Berhormat Datuk Speaker, jalan raya dari Labis ke bandar Segamat yang bergelombang. Kita semua sedia maklum bahawa permukaan jalan yang

bergelombang pastilah mengundang keadaan yang kurang selamat untuk penggunanya walaupun pemandu memandu dengan berhati-hati tetapi apabila keadaan jalan raya yang kurang baik ia pasti mengundang pada kemalangan. Saya mohon untuk permasalah ini didengari agar ia boleh dibaiki secepat mungkin.

Keduanya, adalah terdapat banyak jalan utama dan pintu utama masuk persimpangan sangat kurang dipasang lampu. Yang pastilah apabila dikala menjelang malam, keadaan di jalan-jalan terlalu menjadi gelap. Dan apabila gelap akan mengundang kepada kemalangan dan lebih bahaya lagi adalah kejadian jenayah. Mungkin pihak kerajaan melalui agensi terlibat boleh melakukan bancian terperinci untuk kawasan-kawasan jalan-jalan utama yang memerlukan tambahan lampu jalan bagi mengurangkan risiko kejadian yang saya nyatakan sebentar tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang amat ketara adalah keadaan jalan rosak di kawasan perumahan taman-taman terutamanya dalam DUN Kemelah. Setakat ini, saya telah menerima banyak aduan dari penduduk setempat dimana jalan rosak melibatkan kawasan persimpangan jalan, selekoh serta jalan sempit yang bukan sahaja merbahaya. Pemandu lori luar bahkan penduduk setempat yang gunakan jalan itu harian hingga menyebabkan boleh kehilangan nyawa. Kejadian ini menjadi lebih teruk apabila segala kerja-kerja baik pulih jalan dalam taman di bawah selenggaraan Majlis Perbandaran Segamat sebelum ini telah dijadikan third party oleh syarikat yang telah dilantik kerajaan pada ketika itu. Berhubung dengan ini, saya telah membuat semakan dengan Yang Dipertua Majlis dan laporan terkini diterima banyak aduan lama yang masih belum dilaksana dan menjadi igauan ngeri saya sekiranya perkara ini berterusan tanpa disegerakan kerja-kerja baikpulih jalan tersebut. Saya tidak mahu kita hanya mampu bermegah diri dengan naik taraf kepada Majlis Perbandaran tetapi kemudahan asas seperti jalan raya dan lampu jalan belum benar-benar baik. Bukanlah ia menjadi kekangan terhadap naik taraf tersebut, tetapi biarlah menjadi seiringan agar tidak menjadi sebut yang buruk-buruk, tetapi yang disebut yang baik-baik memandangkan isu jalan rosak dalam perumahan taman-taman di bawah Majlis Perbandaran telah menjadi bualan hangat penduduk setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Kemelah terdapat satu peluang besar untuk dimajukan sekali gus dapat memberi impak yang positif bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi peluang pekerjaan yang banyak sekiranya salah satu punca utama permasalahan di situ dapat diselesaikan. Segamat Inland Port bukan lagi nama asing apabila menjadi salah satu hab untuk perantara pengangkutan bahan-bahan mentah dan menghasilkan berapa produk utama untuk dihantar ke tempat-tempat tertentu. Antara permasalahan utama ialah punca bekalan elektrik yang kurang stabil dan memerlukan satu pencawang utama dalam kawasan Segamat Inland Port tersebut. Selain itu, dengan permasalahan ini, menyebabkan pekerja sedia ada terpaksa hilang pekerjaan kerana mesin tidak dapat beroperasi dengan teratur dan pelabur tidak mahu datang untuk melabur di sebabkan dari segi sistem utiliti di situ.

Yang Amat Berhormat Datuk Speaker, oleh yang demikian,

Timbalan Speaker

Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, minta maaf. Yang Berhormat Datuk Speaker, oleh yang demikian saya memohon untuk dilihat kembali sistem utiliti berkaitan letrik, air dan capaian internet yang kurang laju meskipun perkara ini telah dimajukan kepada pihak berkaitan namun ianya hendaklah digerakkan secara berfasa tanpa putus untuk memastikan perkara ini terlaksana secara efisyen.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menarik perhatian berkaitan perumahan Taman TAR yang telah tersedia dibina dalam DUN Kemelah akan tetapi sayangnya ianya

sudah terbengkalai begitu lama tanpa sebarang gerak kerja terbaru. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum taman perumahan telah dibina oleh sebuah syarikat swasta, dengan nilai RM96,800.00 untuk setiap unit yang telah mempunyai pemiliknya tersendiri sejak berapa tahun yang lalu. Mengikut dokumen yang saya telah teliti dari beberapa pemilik rumah tersebut, rumah itu sudah 80% hampir siap sepenuhnya. Dan amat menyedihkan pemaju perumahan itu telah meninggalkan kerja tersebut sehingga hari ini. Selain itu, saya turut bersimpati mengenang pemilik yang terpaksa menanggung hutang bank kerana terpaksa membayar bulanan pinjaman perumahan itu bahkan paling pilu ada pemilik yang sudah membayar hingga habis. Ramai pemilik adalah kakitangan kerajaan. Ini merupakan satu harapan besar bukan sahaja pembeli tetapi penduduk sekitar untuk melihat kerajaan sedia ada menyempurnakan kembali kerja-kerja yang tertangguh, seterusnya memberi sinar baru kepada mereka yang telah mula membayar sejak awal projek perumahan dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lain yang ingin saya katakan berkenaan mini stadium di Jalan Genuang, Kemelah. Dimana pada awalnya dahulu perkara ini telah pun diiktiraf untuk perlaksanaan kerja-kerja pembinaan. Meskipun begitu, saya melihat kerja-kerja ini masih belum terlaksana dan dari mata kasar hanyalah pendinding sekitar tanah rizab itu saja yang telah diletakkan akan tetapi ianya juga sudah dicabut kembali sejak pada waktu tahun yang lalu. Melihat akan perkara ini, pembinaan mini stadium ini perlu diteruskan agar menambah lagi fasiliti yang sedia ada dalam daerah Segamat. Selain memberi lebih tarikan kepada generasi belia untuk melakukan aktiviti riadah yang lebih bermanfaat. Jika dilihat dari sudut kawasan, bagi saya ianya begitu sesuai memandangkan berhadapan dengan dewan serbaguna Segamat dan laluan yang tidak mengganggu jalan utama di bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, segala kemajuan dan permodenan ekonomi negeri Johor tidak akan bermakna sekiranya rakyat Johor di luar bandar masih sukar mendapat kediaman yang selesa. Rumah mampu milik harus dibina di kawasan luar bandar. Sudah bertahun-tahun tidak ada projek pembinaan rumah mampu milik di DUN Kemelah. Maka fokus dan strategi perumahan ialah meneruskan pembinaan rumah mampu milik dengan lebih banyak lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerosakan gelanggang telah memberi kesan negatif kepada anak muda FELDA untuk bersukan dan beriadah di waktu lapang. Kesan daripada itu, permasalahan ini menyebabkan anak muda tidak aktif dalam bidang sukan yang sepatutnya mereka boleh monopoli sukan tersebut kerana berada dalam kawasan FELDA. Dua gelanggang utama ini merupakan tempat riadah belia FELDA Redong. Gelanggang futsal tidak pernah diselenggara sejak diserahkan kepada belia apabila telah siap dan tiada peruntukan tambahan untuk baik pulih sejak itu. Gelanggang petanque pula bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk FELDA, bahkan kerap kali menjadi tuan rumah untuk pertandingan di peringkat negeri Johor sedangkan tiada infrastruktur yang berkualiti di situ. Setakat ini pencahayaan di gelanggang petanque dibina sendiri oleh anak muda tanpa sebarang peruntukan demi membolehkan mereka bermain pada waktu malam. Kawasan gelanggang yang tidak berpagar dan lantai yang sudah rosak menyukarkan pemain untuk berlatih di gelanggang tersebut. Kerosakan gelanggang ini memberi kesan negatif kepada anak muda FELDA untuk bersukan pada waktu lapang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bila tiba musim hujan berpanjangan, namun daerah Segamat antara daerah popular mengalami banjir tahunan tanpa terkecuali. Melihat situasi ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kebanyakan penduduk daerah Segamat khususnya kawasan saya di perkampungan Mukim Pogoh seperti menjadi satu rutin tahunan dimana mereka akan tinggal di pusat pemindahan banjir tatkala rumah mereka dinaiki air atau terus ditenggelami air dek hujan yang berlarutan tanpa henti. Bagi kami perkara ini bukanlah perkara asing lagi. Sebagai kerajaan yang prihatin terhadap rakyat, perlulah kita

menggerakkan jentera untuk meneliti semula keberkesaan tebatan banjir yang telah dilaksanakan sebelum ini. Tidak dinafikan mangsa banjir mula menunjukkan penurunan setelah tebatan siap sepenuhnya, tetapi masih ada segelintir penduduk tetap menjadi mangsa tahunan apabila musim hujan berpanjangan. Melihat akan perkara ini, saya berpendapat aliran sungai perlu didalamkan terutama di Sungai Chodan di Mukim Kampung Pagoh dan Sungai Muar boleh diteliti semula untuk memastikan aliran air di situ lebih lancar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu terdapat banyak lagi banjir besar yang melanda di sekitar daerah Segamat. Pada Januari yang lalu, perkara ini telah banyak memberi kesan buruk di Kampung Paya, Pulai, Kampung Pogoh Tengah, Kampung Bukit Limau Manis, Kampung Chodan dan Kampung Ketam sehingga menyebabkan penduduk kampung terputus hubungan untuk melakukan...

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Kemelah.

Rata-rata...

Timbalan Speaker

Yang Berhormat sila duduk, kita berhenti seketika untuk menghormati azan.

(Dewan berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan.)

Timbalan Speaker

Kemelah, sila sambung. Ada tiga minit lagi.

Sehubungan dengan itu, anak-anak sungai berdekatan perlu dikaji sebelum untuk memastikan saluran air tersebut tidak tersekat terutamanya ketika banjir. Saya juga ingin meminta agar satu kajian jangka panjang dilakukan bagi memastikan isu banjir dapat diselesaikan di kawasan Kemelah. Saya berharap pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir bicara ingin saya ucapkan jutaan tahniah dan terima kasih atas salah satu kejayaan di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam masa terdekat telah disaksikan oleh semua Bangsa Johor dengan jayanya iaitu Program Bantuan Beras Bangsa Johor pada Ramadhan yang lalu. Terima kasih saya ucapkan kepada ketua penghulu, ketua kampung dan Southern Volunteers yang membantu saya mengagihkan beras tersebut. Satu inisiatif yang sangat baik dan menerima impak positif daripada semua penerima selain rasa terharu penduduk setempat atas ingatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini kepada mereka. Semoga kepimpinan dibawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini akan memacukan lagi Johor berserta kepimpinan barisan EXCO-EXCO yang terpilih.

Akhir kata, pada hemat saya, sebagai kerajaan negeri Johor, kita harus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dari aspek utiliti seperti bekalan elektrik, air dan capaian Internet demi kemajuan dalam pembangunan DUN Kemelah. Sekian terima kasih dari saya, salam sejahtera dan Kasih Kemelah. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Kemelah. Perbahasan diteruskan. Dijemput YB Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Doa) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Bangsa Johor dan Salam Maju Johor. Ya hayyu ya qayyum, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah seluruh urusanku dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata. Amin.

Pertamanya, izinkan Penawar ingin merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Dewan Negeri Johor Ke-15. Penawar merafakkan syukur setingginya ke hadrat Allah yang Maha Mentadbir dan Maha Berkuasa kerana dengan izin-Nya jua kita dapat bersama dan saya ditakdirkan menang PRN Johor dan berdiri di sini mewakili orang-orang DUN Penawar. Moga diberkati dan dirahmati. Di kesempatan ini juga saya merakamkan sembah taat setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Raja Johor. Allah berkati Johor dan Allah selamatkan Sultan. Tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri dan Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali sebagai Timbalan Speaker. Tahniah juga kepada seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih rakyat. Marilah kita sama membina Johor yang maju dan bersikap profesional dan konstruktif dalam menjalankan amanah sebagai wakil kepada rakyat. Mudah-mudahan perkataan ini juga adalah peringatan kepada diri saya buat kali pertama berdiri membawa suara Penawar pada hari ini dan hari-hari mendatang. Insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa hal Penawar rasa wajar untuk disentuh hari ini dan beberapa hal juga yang diminta sampaikan oleh orang-orang Penawar, pandangan dan hajat-hajat. Harap-harap kelapa puan, tidak puan kelapa bali, harap-harap kepada Dewan, tidak di Dewan di mana lagi. Baik, di DUN Penawar, isu perumahan generasi baru masih belum lagi beres dan memerlukan perhatian khusus kerajaan negeri. Orang tempat saya, orang FELDA sejak belum buang undi sampailah malam tadi bila ditanya, apa nak bawa isu, mereka jawab, dan mereka minta agar satu, 296 lot perumahan generasi baru di FELDA Air Tawar 4 dapat disempurnakan segala urusannya. Alhamdulillah FELDA Air Tawar 4 telah menerima Borang 5A pada 23hb Mei 2022 yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah merealisasikan impian generasi baru FELDA yang sekian lama mereka nantikan. Begitu juga 359 lot serupa di FELDA Air Tawar 5 yang bakal menerima Borang 5A pada awal Julai nanti. Dengan keluasan 10.74 hektar atau 26.55 ekar lot perumahan generasi baru FELDA di FELDA Air Tawar 4 dan 14.77 hektar atau 36.49 ekar lot perumahan generasi baru di FELDA Air Tawar 5, Penawar memohon agar kemudahan infrastruktur termasuk jalan, bekalan api air, longkang dan parit agar dapat dibuat.

Kemarakan dan lonjakan dari pesatnya RAPID wajar ditampung oleh sumber modal insan sekitar Pengerang dan itulah antara hal menarik ketika orang-orang Pengerang termasuk Penawar membuka dada menerima pembangunan ini. Maka wajar dilihat pembangunan lot-lot perumahan ini agar dapat bukan sahaja urus keperluan perumahan, malah lebih daripada itu, berkemampuan menjadikan ia berdaya penarik dan membekal sumber modal insan di RAPID Pengerang. Selain daripada itu, Penawar juga melihat aspek pembangunan generasi FELDA perlu dipersuai dan diperkasa dengan membangun pelan pembangunan baru atau master blueprint baru melalui kerjasama FELDA dengan kerajaan negeri. Kita desak FELDA untuk memunculkan pelan perancangan khas dengan melakukan penyesuaian atau custom made, dengan izin berdasarkan geografi dan demografi pembangunan di Pengerang. One side does not fit all, dengan izin. FELDA di Kedah, FELDA di Kelantan lain caranya. FELDA di Negeri Sembilan dan Melaka lain kelebihannya. Di Pahang juga ada sumber-sumber yang boleh dimanfaat berbeza. Begitu juga di Pengerang. Sumber dan kelebihan mestilah disesuaikan wajar wujud, wajar wujud keperluan untuk pertama, agenda memperkasa, memperkasa generasi FELDA, kedua, FELDA menerusi inisiatif kerajaan negeri dan tidak keterlaluan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz mewujudkan portfolio khas EXCO FELDA bagi memastikan 27,642 orang peneroka dari 73 tanah rancangan FELDA seluruh Johor dapat dihala tuju dengan lebih berkesan dan begitu jugalah khususnya FELDA di sebelah Kota

Tinggi, di sebelah Pengerang di tempat saya Penawar. Kedua, pelan pembangunan modal insan yang menyeluruh dan bersepadu. Ketiga, program jangka pendek atau quick win yang berpotensi lonjak semangat generasi untuk mengisi pemulihan era endemik ini dan meninggal segala kepahitan ketika pandemik dan keempat, master blueprint bagi memastikan jangka panjang yang holistik dan strategik sebagaimana disebutkan tadi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri juga dipohon memperbanyakkan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Bandar Penawar. Hal ini penting bagi memastikan golongan B40 memiliki rumah sendiri. Hasrat ini juga selari dengan ungkapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita dalam bait-bait ungkapan pada para 109 dalam amanat, bahawa setiap warga Johor berhak memiliki sebuah rumah yang selesa diduduki oleh mereka dan keluarga mereka. Hal ini penting memandangkan peningkatan harga rumah di kawasan Bandar Penawar yang menghambat kemampuan kalangan rakyat marhaen. Kita bimbang ketidakseimbangan ini akan melebarkan jurang sosio ekonomi di kalangan rakyat di Penawar. Tambahan dari itu, kerajaan negeri juga wajar mengambil, mengawal keghairahan pemaju membina rumah untuk golongan kayangan. Ia hanya mengakibatkan lambakan unit rumah dan kedai yang tidak terjual dan hanya mampu dilihat. Hal ini amat tidak bagus. Oleh yang demikian, Penawar mendesak agar meneruskan rancangan membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di PTB13293 dan PTB13286 di kawasan Bandar Penawar bagi masyarakat di dalam DUN Penawar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kawasan utama pembangunan di dalam kawasan DUN Penawar adalah terletak di kawasan Bandar Penawar yang semakin pesat membangun dengan pelbagai jenis pembangunan terdiri daripada kategori pelancongan bertaraf antarabangsa, institusi pendidikan dan perdagangan dan perumahan. Selain kawasan Pantai Port Dickson, kawasan Pengerang merupakan tumpuan para pelancong domestik khususnya di kawasan selatan tanah air dan pelancong antarabangsa dengan keindahan pantai seperti Pantai Desaru, Pantai Batu Layar, Pantai Tanjung Balau dan sebagainya. Sektor pelancongan semakin berkembang dengan projek pembangunan pelancongan Desaru Coast seperti hotel bertaraf 5 bintang iaitu Anantara Resort, Hard Rock Hotel, The Westin Desaru Coast dan sebagainya yang lebih menyemarakkan sektor pelancongan. Selain itu, projek terbaru yang merupakan pintu masuk antarabangsa ke-16 di Malaysia juga bakal menyumbang kepada kehadiran pelancong daripada luar negara. Selain daripada itu, kawasan Bandar Penawar juga adalah tumpuan bagi sektor pendidikan berasrama dan pendidikan tinggi di Pengerang dengan kewujudan sekolah berasrama seperti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Tinggi, Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Kolej Vokasional Mara (KVM). Kawasan sekitar Bandar Penawar juga amat terkenal dengan pelbagai aktiviti bertaraf antarabangsa seperti Regatta, Petronas Cup Prix, Desaru International Bike Week, L’Etape Malaysia by Tour de France yang diadakan pada 4 Jun 2022. Satu lagi aktiviti bertaraf antarabangsa yang akan diadakan iaitu IronMan 70.3 Desaru Coast. Perkara-perkara yang dinyatakan ini menyumbang kepada kadar peningkatan pengunjung di kawasan Bandar Penawar dan berdasarkan pemantauan, sehingga berlakunya kesesakan pada hujung minggu dan cuti umum yang agak serius yang memberikan kesan negatif bukan sahaja terhadap sektor pelancongan, pendidikan dan imej penganjuran sesebuah aktiviti bertaraf antarabangsa. Malah, yang lebih terkesan adalah bagi penduduk di kawasan sekitar yang terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya yang sangat teruk hanya untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, perkara yang ingin diketengahkan pada hari ini adalah mengenai cadangan menaik taraf jalan FT90 daripada 2 lorong, 2 hala kepada 4 lorong, 2 hala daripada persimpangan FT92 (Kota Tinggi-Sungai Rengit) bermula daripada persimpangan stesen minyak Petronas Bandar Penawar ke kawasan pelancongan Desaru Coast yang dirasakan amat penting bagi meneruskan kerancakkan pembangunan di

kawasan sekitar Bandar Penawar yang kian terkenal dengan pelbagai potensi pembangunan dan aktiviti yang bertaraf antarabangsa.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu berkaitan penangguhan projek menaik taraf jalan FT90 ini seringkali menjadi aduan oleh rakyat dan dibincangkan di dalam mesyuarat-mesyuarat. Jajaran jalan FT90 ini merupakan rizab di bawah selenggaraan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan telah pun mula dirancang untuk dinaik taraf daripada tahun 2014. Perancangan awal ini dijalankan oleh pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) iaitu sebagai penyelaras projek bersama 5 pemaju yang terlibat iaitu Desaru Development Incorporation, T&C Consolidated Sdn. Bhd., Continental Management Sdn. Bhd., Millenium Blazer Sdn. Bhd. dan KEJORA Land Sdn. Bhd. Pemaju-pemaju ini merupakan syarikat yang menjalankan pembangunan yang berhubung terus dengan jajaran jalan FT90. Berdasarkan kelulusan pelan pemajuan oleh pemaju yang terlibat, syarat penaik taraf jalan FT90 ini telah dikenakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kelulusan Mesyuarat Unit Pusat Setempat (OSC) di Lembaga Bandaran Johor Tenggara di bawah pentadbiran KEJORA. Satu perjanjian juga telah dijalankan antara pihak KEJORA dan pemaju yang terlibat yang perlu disalurkan oleh pihak pemaju bagi proses menaik taraf yang akan dijalankan oleh pihak KEJORA.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa cadangan naik taraf ini mungkin tidak dapat dijalankan dalam masa terdekat dan isu-isu berkaitan kesesakan akan terus berpanjangan. Selain itu, sekiranya kerja-kerja menaik taraf jajaran jalan FT90 ini dijalankan oleh pihak pemaju secara berasingan mengikut bahagian masing-masing, dikhuatiri proses menaik taraf ini tidak dapat dijalankan secara menyeluruh di sepanjang jajaran FT90 di dalam satu tempoh penyiapan yang sama. Sebagaimana yang dinyatakan jajaran jalan FT90 ini merupakan rizab di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) dan memohon penglibatan dan peranan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Negeri Johor dalam membantu bagi meneliti dan mengambil perhatian serius berkaitan isu penaik taraf jalan FT90 ini dan menjadikan projek berkepentingan bagi Kerajaan Negeri Johor seperti membuat permohonan di dalam Rolling Plan ke-3 (RP3) yang akan datang.

Selain itu, cadangan ini juga adalah merujuk kepada prosedur yang dijalankan bagi projek pelebaran jalan FT92 Kota Tinggi - Sungai Rengit yang dilaksanakan oleh pihak KKR melalui JKR. Projek khas bagi menampung pembangunan daripada pihak Petronas iaitu Pengerang Intergrated Petroleum Complex (PIPC) tanpa memerlukan sumbangan daripada pemaju. Dalam usaha merealisasikan projek ini, kerajaan perlu memastikan semua pihak yang terlibat memainkan peranan yang sewajarnya berdasarkan bidang kuasa dan peranan masing-masing.

Akhirnya, ucapan saya membawa suara orang Penawar yang akhiri dengan mencadangkan sebuah hospital, Hospital Bandar Penawar agaknya nama. Ia bukan sahaja amat perlu dengan kadar pertambahan penduduk di Pengerang. Malah, dipastikan menjadi antara asbab keyakinan orang luar terutama pelancong. Bagi urusan pengimarahan aktiviti pelancongan agar lebih yakin dan selesa lokasi Pengerang letak duduk Penawar yang dibingkai pantai dan jauh di selatan kelihatan wajar memiliki hospital dengan kapasiti menampungi keseluruhan keperluan penduduk Pengerang kawasan saya dan kawasan YB Tanjung Surat, Parlimen Kota Tinggi dan keseluruhan DUN di dalam kawasan YB Tenggaroh terutamanya gugusan Tenggaroh yang memiliki hospital ini. Cadangan ini juga selari dengan cadangan yang telah dibahaskan oleh Yang Berhormat Tanjung Surat pagi tadi.

Saya kira itu sahaja yang Penawar mahu suarakan denyut nadi rakyat Penawar pada siri hari ini akan ada lagi suara Penawar. Ia tidak akan terhenti dan akan terus dibawa demi kesejahteraan Penawar dan Pengerang. Kebaya merah menyerlah, malu jemur, kepada

Allah berserah, Maju Johor. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)

Timbalan Speaker

Terima kasih Penawar. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok Rabu, 22 Jun 2022 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.