Johor · 22 June 2022

1st session, 2nd meeting · 175 turns · 32,372 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim. Saya berpengalaman menjadi Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat dengan izin, The Upper and The Lower House. Ditakdirkan hari ini saya menjadi ADUN sama dengan Yang Berhormat Perling. Cuma, kuasa saya tinggi sikit kerana YB Perling hanya Ketua Pembangkang, saya Speaker.

Saya mengikuti perbahasan menjunjung kasih Tuanku selama 5 hari ini dengan khusyuk, saya tak bosan pun. Ada 11 lagi Ahli Yang Berhormat belum berbahas. Tetapi berdasarkan kepada penilaian saya, perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah berkualiti. Tahniah. (Dewan bertepuk). Saya bagi dulu 3A+++ (Dewan ketawa).

Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang menyentuh banyak perkara, isu negara, isu kepentingan Johor dan juga masalah-masalah di kawasan. Banyak cadangan yang bernas dikemukakan, termasuk isu produk pelancongan dan banjir. Tidak macam seorang Ahli Yang Berhormat berpengalaman, dia mencadangkan supaya banjir dijadikan produk pelancongan. Saya pun tak tahu berapa hasil boleh diperolehi kalau banjir menjadi produk pelancongan. Sedangkan negara, orang ramai, rakyat kerugian berjuta, bilion ringgit, harta rosak, rumah rosak, bahkan ada yang kehilangan nyawa, ekonomi kita terganggu kerana banjir. Saya sendiri Tuan-Tuan Ahli-Ahli Yang Berhormat kehilangan buku-buku yang berharga bila rumah saya di Jalan Kenangan, Batu Pahat tu dilanda banjir. Jadi sebab itu, saya berbangga dengan perbahasan selama 5 hari ini dan mudah-mudahan ini akan memartabatkan lagi Dewan Undangan Negeri Johor. Terima kasih.

Soalan LisanQuestions

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.

Minta dinyatakan perancangan kerajaan negeri dalam isu penjadualan sampah seimbang dengan pertambahan data penduduk seperti di daerah Batu Pahat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum urusan sisa pepejal adalah terletak di bawah penyeliaan SWCorp. Melalui Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Tahun 2007. Oleh yang demikian, penjadualan sampah yang dilaksanakan oleh pihak konsesi SWM Sdn. Bhd. adalah mengikut standard

yang ditetapkan iaitu 2 kali pungutan sampah domestik dan 1 kali pungutan sampah pukal bagi kawasan premis kediaman. Dan 6 kali seminggu bagi pusat tong seperti pasar dan medan selera.

Namun begitu, sebarang isu pertambahan atau pengurangan yang berkaitan dengan standard perkhidmatan, ia akan dibincangkan melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Wilayah atau RIC (Regional Implementation Committee) yang dihadiri oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu PBT dan pihak konsesi SWM pada setiap bulan mengikut keperluan dan cadangan yang dibawa. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah SWCorp Negeri Johor di mana antara lain bertujuan membuat pengesyoran melalui lokasi, saiz, jenis dan bilangan tong mengikut standard perkhidmatan. Selain itu, Jawatankuasa ini juga membuat pengesyoran tentang kekerapan standard perkhidmatan pengurusan pembersihan awam mengikut standard perkhidmatan.

Untuk pengesahan oleh Jawatankuasa Peringkat Perkhidmatan atau Service Level Committee dengan izin dan membuat pengesyoran pertambahan kawasan atau semakan kawasan perkhidmatan untuk perkhidmatan kutipan dalam skim tertentu.

Kajian sisihan piawaian atau standard deviation dengan izin, biasanya dibuat selama 3 bulan bagi memperolehi keperluan frekuensi perkhidmatan yang sebenar di sesuatu kawasan itu.

Pelaksanaan ini juga seiring dengan permintaan dan sumbangan yang diserahkan oleh pihak PBT bagi menjalankan perkhidmatan kutipan sampah di suatu kawasan bagi pertambahan kawasan baru, juga akan mengalami proses yang sama. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih di atas jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat EXCO. Berdasarkan taburan penduduk mengikut daerah di negeri Johor bagi tahun 2015 hingga 2019 yang telah dinyatakan dalam Buku Data Asas Negeri Johor, Batu Pahat merupakan data penduduk kedua tertinggi di negeri Johor.

Jadi soalan saya, kerajaan menggubal sama ada penjadualan baharu ataupun dasar baharu yang lebih dinamik bagi menyusun semula penjadualan di kawasan-kawasan berisiko dan bagaimana kerajaan negeri berusaha untuk merangka dasar baharu yang lebih bersesuaian untuk Johor yang lebih maju dan bersih. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Parit Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk kawasan-kawasan tambahan seperti yang saya maklumkan tadi, di peringkat Yang Berhormat ataupun di peringkat SWM boleh memberi cadangan kepada pihak SWCorp dan di peringkat PBT juga boleh pick up isu ini untuk dibawa dalam perbincangan bersama dengan Pengarah SWCorp setiap 3 bulan sekali. Terima kasih.

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Endau.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.

Sedia maklum bahawa ada segelintir penerima bantuan JKM telah mengadu bahawa bantuan mereka telah dipotong tanpa makluman daripada pihak berkaitan. Bolehkah jelaskan mengapa hal ini boleh berlaku dan mengapa ada sesetengah penerima bantuan dipotong jumlah bantuannya?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor.

Bagi menjawab soalan Endau, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, selepas daripada ini dipanggil JKM Negeri Johor menguruskan permohonan bantuan JKM mengikut Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan JKM yang telah disediakan. Dalam garis panduan itu telah jelas menerangkan proses penamatan bantuan adalah bagi kes yang telah berpindah ke tempat lain iaitu luar negeri Johor, kes yang telah meninggal dunia dan juga kes yang telah tidak layak menerima bantuan JKM kerana jumlah pendapatan telah melebihi kadar paras garis kemiskinan iaitu PGK Makanan 2021 iaitu sebanyak RM1,169.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat juga kes yang jumlah bantuan bulanan yang diterima telah ditamatkan berdasarkan kriteria tertentu. Kes yang ditamatkan itu adalah sebahagian bantuan bulanan adalah bagi penerima Bantuan Kanak-kanak atau BKK kerana faktor umur kanak-kanak itu telah melebihi umur 18 tahun. Ini kerana jumlah bantuan BKK adalah bergantung kepada pengiraan mengikut umur anak-anak itu iaitu RM200.00 bagi anak yang berumur 6 tahun ke bawah dan RM150.00 bagi anak yang berumur 7 hingga 18 tahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman jabatan juga telah mengambil tindakan dengan pemakluman secara bertulis kepada penerima bantuan bagi perubahan jumlah bantuan yang diterima oleh penerima sebulan sebelum bayaran bagi kadar bantuan baharu dibuat. Selain itu, penerima bantuan JKM juga perlu sentiasa menyemak dan mengemaskini status permohonan bantuan masing-masing kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah pada setiap tahun bagi mengelakkan perkara pemberhentian berlaku. Tambahan pekerja kes lapangan juga akan membuat siasatan setiap tahun sebelum berakhir tempoh permohonan. Terima kasih.

Speaker

Sila Endau.

Terima kasih di atas jawapan daripada YB EXCO. Soalan tambahan saya, berapakah jumlah penerima Bantuan Am di seluruh negeri Johor dan jumlah penerima Bantuan Am sehingga Mei 2022 dan pecahan bilangan penerima bantuan mengikut daerah yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dan nyatakan juga jumlah penerima semua skim bantuan kewangan JKM bagi penduduk di kawasan DUN Endau sehingga Mei 2022. Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Endau. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya melaporkan bahawa kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan bantuan sara hidup. Jumlah Bantuan Am yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM300.00 sebulan. Kadar ini adalah kadar baharu yang telah dinaikkan mulai Januari 2021 iaitu daripada RM200.00 sebulan kepada RM300.00 sebulan. Jumlah penerima Bantuan Am negeri terkini sehingga Mei 2022 adalah sebanyak 6,343 orang dengan peruntukan sebanyak RM1,902,900.000. Manakala pecahan jumlah penerima bantuan mengikut daerah adalah seperti berikut :-

Johor Bahru 1,461; Batu Pahat 952; Kluang 425; Kota Tinggi 128; Muar 993; Kulai 265; Tangkak 423; Segamat 1,065; Pontian 253; Mersing 376, jumlah keseluruhan adalah 6,343.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan kepada laporan statistik bulanan yang disediakan oleh JKM Negeri Johor melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Mersing

sehingga 30 Mei 2022, seramai 1,107 orang dengan perbelanjaan sebanyak RM447,600.00 sebulan telah disalurkan kepada kawasan DUN Endau. Manakala pecahan bilangan penerima bantuan mengikut skim bantuan adalah seperti berikut:-

Bantuan Am 224 orang; Bantuan Kanak-kanak 135; Bantuan Warga Emas 340; Bantuan Elaun Pekerja OKU 206; Bantuan Pesakit Kronik Terlantar 34; Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja 168. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Mahkota.

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pucuk ubi ulam pegaga, soalan Mahkota nombor 3. Terima kasih.

Apakah perancangan EXCO untuk menjadikan Johor pusat pengeluaran makanan ringan yang menjadi makanan utama Johor seperti sambal kicap/bawang goreng dalam membantu golongan wanita khususnya dalam bidang IKS?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Saya tak prepare pantun pada pagi ni. Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Mahkota atas soalan yang diberikan pada saya. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat, untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor melalui Perbadanan Johor Sdn. Bhd. atau lebih dikenali PUJB kerap bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim ataupun YPKDT. Banyak menyediakan inisiatif dalam pembangunan ekonomi khususnya kepada golongan wanita, seperti ibu tunggal dan juga wanita B40. Antara program yang disediakan adalah Women’s Income Generating Skilled Project (WINGS), dengan izin, Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) dan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus.

Untuk makluman Yang Berhormat Mahkota, sebagaimana yang telah dijawab oleh Yang Berhormat EXCO Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sebelum ini, YPKDT juga berperanan membantu usahawan permulaan sehingga perniagaan dikembangkan menerusi bantuan promosi perniagaan dan bantuan teknik pemasaran, serta peningkatan pendapatan dan untuk makluman Yang Berhormat Mahkota, YPKDT juga sedang dalam cadangan untuk dijadikan keanggotaan di dalam Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor, iaitu satu badan penyelaras dan memantau program-program pembangunan-pembangunan usahawan di negeri Johor yang kini memiliki 49 keanggotaan terdiri daripada jabatan-jabatan mahu pun agensi-agensi kerajaan negeri mahu pun pusat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pusat pengeluaran makanan ringan oleh usahawan wanita, kerajaan negeri menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) masih memfokuskan kepada program kemahiran dan latihan berterusan sebelum pusat pengeluaran wanita IKS diwujudkan. Walau bagaimanapun, untuk jangka masa yang panjang, Perbadanan Usahawan Johor Berhad dan BPEN sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan satu hab atau pusat makanan ringan di setiap daerah, termasuk penglibatan usahawan wanita sebagai penanda aras dan juga contoh kepada wanita di negeri Johor. Selain itu memperluaskan rangkaian perniagaan dan mewujudkan banyak ruang perniagaan serta pekerjaan kepada masyarakat luar di sana. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Mahkota ada?

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya adakah kerajaan negeri mempunyai data

atau maklumat yang boleh diperolehi berkaitan dengan usahawan wanita khasnya, bagi membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan di dalam yang mulia ini cakna dan mengetahui situasi terkini bilangan usahawan yang terdapat di negeri Johor? Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Mahkota. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat-Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini. Kerajaan negeri Johor sentiasa cakna dan melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. ini telah mewujudkan satu pusat data usahawan yang dipanggil PADU yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi ekosistem dalam bidang keusahawanan di negeri Johor ini. Usahawan Johor memerlukan sebuah platfom yang mudah diakses bagi rujukan informasi-informasi terkini yang berkaitan peluang perniagaan, skim-skim bantuan daripada kerajaan ataupun agensi yang memerlukan satu sistem pengurusan yang komprehensif dan cekap. Bagi memastikan sumber maklumat dapat diakses dan dijadikan sumber untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dalam usahawan dan rakyat umumnya, maka pengwujudan satu portal yang bersepadu menerusi PADU tepat pada masanya yang berfungsi.

1. Untuk mendapat maklumat yang tepat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk latihan, bantuan, kepakaran lain-lainnya berkaitan dalam bidang keusahawanan.

2. PADU ini menjadikan rujukan kepada agensi bagi melaporkan maklumat bantuan yang telah diterima oleh usahawan-usahawan di Johor ini.

3. PADU ini juga memudahkan pemohon-pemohon, penyewa-penyewa premis perniagaan.

Untuk makluman Yang Berhormat Mahkota, Datuk Speaker, menerusi rekod sistem PADU, seramai 5,099 usahawan wanita atau bersamaan dengan 44.2% telah berdaftar Dari keseluruhan itu sebanyak 11,583 adalah usahawan. Sebanyak 6,799 usahawan atau bersamaan 58.7% dari jumlah 11,583 adalah usahawan-usahawan yang berasaskan industri makanan termasuklah pembuatan dan pemerosesan. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Mahkota. Terima kasih.

Speaker

Pemanis, sila.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, saya tertarik dengan jawapan daripada YB EXCO tadi berkenaan dengan hab pengeluaran makanan di setiap daerah. Kita tahu selepas era pandemik COVID-19 ini, ramai pengusaha-pengusaha IKS nampaknya terjejas, terutamanya di setiap daerah, apabila perniagaan-perniagaan mereka kurang mendapat sambutan. Adakah dengan pewujudan hab pengeluaran makanan ini yang dicadangkan akan diwujudkan di setiap daerah boleh membantu usahawan-usahawan IKS terutamanya untuk mendapatkan pinjaman, Dan soalan kedua saya adakah yang hab pengeluaran makanan di setiap daerah yang bakal diwujudkan nanti, akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain contohnya seperti RISDA, yang memberikan bantuan kepada IKS? Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam jawapan saya tadi, kami dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. dan BPEN akan mencadangkan satu hab kepada IKS-IKS tempatan. Kita semua sedia maklum bahawasanya ramai usahawan-usahawan yang terjejas apabila pandemik COVID melanda seluruh dunia dan Johor tidak terkesan juga mengalami bencana COVID-19 ini.

Bagi makluman Yang Berhormat Pemanis, insya-Allah bantuan-bantuan yang telah dijalankan dan bakal dijalankan juga telah dirancang oleh Perbadanan Usahawan Johor Berhad melalui Majlis Pembangunan Usahawan Johor (MPUNJ) dengan keanggotaan 49 keanggotaan itu telah merancang memfokuskan takwim tahunan sebab itulah saya mengharapkan lebih banyak jabatan-jabatan membincangkan isu-isu, peluang dan ruang kepada peniaga-peniaga di Johor ini kerana kita semua sedia maklum ramai yang rungutan di bawah informasi-informasi yang tidak dapat diturunkan hari ini saya meminta semua jabatan-jabatan di bawah agensi saya pastikan mereka di bawah dapat maklumat yang tepat.

Yang keduanya dari segi bantuan Yang Berhormat Pemanis, insya-Allah di bawah agensi MPUNJ ini terdapat berbagai agensi contohnya TEKUN, SMT dan pelbagai lagi, 49 keanggotaan. Sebab itu saya menitik beratkan Yang Berhormat Pemanis tentang informasi-informasi haruslah sampai di peringkat bawah. Sebenarnya banyak Yang Berhormat Pemanis. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada PETRONAS seramai 4 orang, pemerhati dari Majlis Belia Negeri Johor, 4 orang dan pemerhati daripada kawasan DUN Tenang, 2 orang yang daripada DUN Tenang sekejap lagi insya-Allah DUN Tenang akan bagi duit kocek. Kalau tak bagi lapor pada Speaker.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya benarkan jawapan bersekali. Saya jemput Yang Berhormat Tiram.

Tuan Azizul bin BachokUMNO · BNTiram

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 4.

Apakah perancangan agensi untuk mengatasi masalah capaian Internet di pedalaman seperti di Kg. Pasir Salam dan Kg. Air Putih serta sekitarnya?

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Kota Iskandar.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5. Terima kasih.

Apakah taraf pencapaian kerajaan berkaitan pembangunan infrastruktur teknologi maklumat meliputi kawasan kampung tradisi dan kawasan perumahan dalam kawasan DUN Kota Iskandar yang masilh terdapat kawasan yang kurang capaian Internet berkualiti walau kawasan ini berada dalam kawasan bandar raya?

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Bukit Naning.

Tuan Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6. Terima kasih.

Capaian Internet di sekitar kawasan kampung amatlah mendukacitakan. Apakah tindakan dan langkah yang diambil bagi menangani isu capaian dan liputan Internet yang lemah ini khususnya di DUN Bukit Naning?

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.

Apakah usaha kerajaan untuk meningkat capaian Internet dan capaian line telefon khususnya di sekitar kawasan pekan Parit Yaani?

Speaker

Silakan.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab bagi soalan dari Ahli-Ahli Berhormat Tiram, Kota Iskandar, Bukit Naning dan Parit Yaani secara bersekali kerana ianya saling berkait iaitu berkenaan dengan isu capaian Internet di kawasan masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Yang Berhormat melalui Pelan Jaminan Digital Negara (JENDELA) bagi DUN Tiram, kerajaan telah merancang pembinaan 10 menara baru, penaiktarafan 254 stesen pemancar kepada teknologi 4G, ketersediakan sambungan gentian optik kepada 26,222 premis, pembinaan sebuah jalur lebar satelit yang dijangka akan siap sepenuhnya pada Disember 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mengatasi masalah capaian Internet di DUN Tiram, perkembangan infrastruktur sehingga suku pertama 2022 adalah seperti siap 7 tapak menara baru, 3 lagi dalam pelaksanaan. 241 siap naik taraf stesen pemancar, 13 dalam perlaksanaan. Seterusnya jalur lebar satelit siap satu. Terdapat 3 tapak menara baru yang sedang dalam perlaksanaan di Kampung Orang Asli Pasir Salam, Kampung Seri Perdana, Sungai Tiram dan Kampung Bukit Dagang. Tapak-tapak ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023 nanti, insya-Allah.

Bagi DUN Kota Iskandar, kerajaan telah merancang pembinaan 11 menara baru, penaiktarafan 285 stesen pemancar kepada teknologi 4G dan ketersediaan sambungan gentian optik kepada 15,648 premis yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2023. Bagi mengatasi masalah capaian Internet di DUN Kota Iskandar, Yang Berhormat Kota Iskandar, perkembangan infrastruktur sehingga suku pertama 2022, tapak menara baru telah siap 11, naik taraf stesen pemancar siap 272 dan masih dalam pelaksanaan 13, ketersediaan sambungan gentian optik siap 15,648 untuk premis.

Melalui Pelan Digital Negara iaitu JENDELA bagi DUN Bukit Naning, kerajaan telah merancang pembinaan 2 menara baru, penaiktarafan gentian optik kepada 1,688 premis yang dijangka juga akan siap sepenuhnya pada Disember 2023, insya-Allah. Jadi, bagi mengatasi isu capaian dan liputan Internet yang lemah di DUN Bukit Naning, perkembangan infrastruktur sehingga suku pertama 2022, tapak menara baru siap 1, dalam perlaksanaan 1, naik taraf stesen pemancar siap 46, dalam pelaksanaan 6. Seterusnya yang saya maklumkan tadi, untuk premis siap 1,684.

Melalui pelan JENDELA di DUN Parit Yaani, Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan telah merancang pembinaan dua menara baru, penaiktarafan 54 stesen pemancar kepada teknologi 4G dan ketersediaan sambungan gentian optik kepada 7,229 premis yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember 2022. Perkembangan infrastruktur sehingga suku pertama 2022 Yang Berhormat Datuk Speaker, tapak menara baru siap 1, dalam pelaksanaan 1, naik taraf stesen pemancar siap 50, dalam pelaksanaan 4, ketersediaan sambungan gentian optik premis siap sepertimana yang saya maklumkan tadi 7,292 Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput, Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Soalan tambahan saya, mengapakah masih berlaku masalah capaian Internet dan komunikasi yang lemah di setiap kawasan di dalam DUN Bukit Naning walaupun sudah ada banyak menara-menara yang terbina di dalam sesuatu kawasan tersebut? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan tambahan itu YB Bukit Naning. Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak kerajaan negeri Johor berperanan sebagai pemudahcara dalam memastikan kelancaran pelaksanaan dasar-dasar berkaitan telekomunikasi yang telah diputuskan di peringkat kerajaan persekutuan agar liputan rangkaian telekomunikasi di negeri ini dalam keadaan yang baik.

Pelaksanaan Pelan Digital Negara (JENDELA) tidak hanya bertumpu pada inisiatif-inisiatif pembinaan infrastruktur digital secara fizikal, malah dasar-dasar berkaitan komunikasi turut dicadangkan untuk ditambah baik dan beberapa kertas kerja bagi menambah baik dasar komunikasi yang dibawa oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah pun diluluskan di peringkat kerajaan negeri Johor.

Antara kertas kerja berkaitan komunikasi yang dibawa ke peringkat negeri dan telah pun diluluskan adalah:

1. Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara iaitu JENDELA. 2. Perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam. 3. Pelaksanaan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPPI).

Kertas kerja yang lain masih dalam penilaian pihak kerajaan negeri, iaitu penambahbaikan prosedur permohonan pemaju pelan menara atau struktur komunikasi, pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) berkaitan penggunaan Borang G20 untuk proses Kebenaran Merancang (KM) di peringkat OSC.

Yang Berhormat Datuk Speaker, justeru itu inilah antara peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan JENDELA oleh MCMC ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan dan dipercepatkan kelulusan di peringkat pihak berkuasa meluluskan di bawah kerajaan negeri. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Tiram.

Tuan Azizul bin BachokUMNO · BNTiram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan yang nak saya nyatakan nampaknya telah dijawab bersekali dengan soalan tambahan Bukit Naning sebentar tadi. Saya bagi laluan kepada Yang Berhormat lain.

Speaker

Saya jemput Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Datuk Speaker. Jalinan Digital Negara (JENDELA) memperkukuh infrastruktur kesalinghubungan rakyat Malaysia. Oleh itu, susulan daripada pandemik COVID-19 pada yang lepas, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrakstruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baru rakyat. Soalan saya, apakah perkembangan JENDELA setakat hari ini? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan tambahan itu YB Parit Yaani. Yang Berhormat Datuk Speaker, susulan daripada pandemik COVID-19, kebergantungan rakyat terhadap komunikasi digital semakin

meningkat. Melihat kepada trend semasa, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baru rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pelan tindakan ini yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA) dirangka melalui satu sesi makmal pada tahun 2020, akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital secara negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12, 2021-2025. JENDELA juga akan dilaksanakan secara berfasa dan berperingkat disebabkan jumlah pembangunan dan pelaburan yang besar dan banyak. Pelaksanaan keseluruhan JENDELA fasa satu ini melibatkan pelaburan sebanyak RM3.1 juta bilion di Johor melalui dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) oleh MCMC dan juga dana komersial oleh pihak syarikat telekomunikasi.

Sedikit info daripada saya berkaitan dengan JENDELA, setakat ini. Untuk JENDELA fasa 1, Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak tahun 2020 sehingga penghujung tahun 2022 akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan penduduk bagi negeri Johor. Liputan 4G sebelum pelaksanaan JENDELA berada pada 98.28% dan pelaksanaan JENDELA fasa 1 akan dijangka akan melonjakan liputan 4G negeri Johor kepada 99.14%. Insya-Allah, untuk kerajaan negeri seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Johor semasa Majlis Amanat Yang Amat Berhormat di Persada baru-baru ini telah meletakkan sasaran untuk kerajaan negeri memberikan fokus bagi mengurangkan masalah capaian Internet dan telekomunikasi. Ini sebahagian salah satu komponen dalam teras ke-4 iaitu Kemudahan dan Keperluan Asas. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput, Panti terlebih dahulu.

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Panti bangun untuk bertanya soalan bagi perkara ini kerana isu Internet ini adalah salah satu isu yang popular dan salah satu isu yang saya rasa sangat mendesak pada ketika ini. Terima kasih atas jawapan yang telah diberikan Yang Berhormat EXCO tadi, cuma kita tahu apabila perkara ini, isu ini kita faham, isu ini adalah isu persekutuan, maknanya, kita negeri adalah sebagai pemudahcara, Cuma tadi, last tadi YB EXCO ada katakan berkaitan dengan salah satu janji kerajaan negeri melalui teras yang telah dibentangkan sebelum ini. Cuma saya ingin penjelasan ataupun mungkin sudah ada rangkanya, adakah kita boleh tahu pada hari ini, apakah pelan jangka masa pendek sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan masalah ini di peringkat negeri, contohnya di peringkat Barisan Nasional dulu kita ada mungkin wifi percuma di setiap pedalaman, sekurang-kurangnya kita membantu kalau kita tunggu program-program, ataupun projek persekutuan dan pada hari ini kita rasa sampai bila pun kadang-kadang tak dapat perkara itu? Seterusnya saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan tambahan itu, Yang Berhormat Panti. Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak kami sedang dan akan terus berusaha untuk memastikan liputan Internet jalur lebar akan dinikmati oleh keseluruhan penduduk di Johor melalui inisiatif yang mana saya cakap tadi, JENDELA. Selain daripada JENDELA, TM dari masa ke semasa juga akan terus menjalankan kajian terperinci di kawasan-kawasan yang terdapat permintaan untuk penggunaan Internet di seluruh negeri Johor. Jadi, pihak kami sedang dan akan terus berusaha untuk memastikan liputan Internet jalur lebar akan dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk di Johor melalui inisiatif JENDELA dan projek-projek penyediaan infrastruktur jalur lebar di bawah Rancangan Perniagaan TM, insya-Allah, Yang Berhormat Datuk Speaker. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya nak bagi peluang pada Kota Iskandar sebab beliau menunggu 18 tahun nak tanya soalan. Silakan.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Datuk, Yang Berhormat Speaker. Isu pembinaan infrastruktur teknologi ini adalah penting kerana apa yang hasrat kerajaan negeri bahawa hendak menjadikan negara maju. Persoalan saya Datuk Speaker, tadi Cik Yang Berhormat EXCO ada menyatakan 11 menara akan didirikan di kawasan Kota Iskandar, apatah lagi Dewan yang mulia ini berada di kawasan Kota Iskandar. Saya dapati dalam kawasan pentadbiran kerajaan pun capaian Internetnya masih kurang memuaskan. Persoalan saya, adakah dibuat kajian syarikat-syarikat yang telah diluluskan untuk pembinaan menara ini, dikenal pasti siapa yang mengemudi? Contoh kalau di kawasan Sg. Melayu mungkin Celcom tidak sesuai, jadi 11 yang diutarakan oleh Cik EXCO tadi boleh tak beri penjelasan, syarikat mana yang diberi kelulusan untuk pembinaan menara-menara tersebut, supaya pencapaian Internet kita dapat yang terbaik apatah lagi kita nak jadikan negeri Johor ini negeri yang terbaik dari segi pencapaian Internetnya. Terima kasih, Datuk Speaker.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan tambahan itu Yang Berhormat Kota Iskandar. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mengenalpasti apakah masalah dan cadangan bagi masalah tersebut, MCMC dari pihak penyedia perkhidmatan Telco perlu membuat ujian teknikal. Ujian teknikal ini merujuk pada kualiti perkhidmatan. Liputan lemah di setengah kawasan boleh jadi banyak kemungkinan antaranya termasuklah boleh jadi hanya satu penyedia perkhidmatan sahaja yang mengalami liputan lemah, sedangkan Telco-Telco yang lain, liputan mereka ok. In building coverage, dengan izin juga boleh menjadi faktor kepada capaian lemah.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, maka sekiranya ada aduan mengenai liputan lemah ini, ia mesti dikenal pasti secara case to case, dengan izin serta banyak input-input yang diperlukan sebelum MCMC membuat kesimpulan dan cadangan kerana ia melibatkan pelbagai Telco. Jadi, insya-Allah seperti mana yang saya maklumkan tadi, pihak kerajaan negeri seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor sentiasa akan memastikan dan fokus mengurangkan masalah capaian Internet dan telekomunikasi ini sebagai salah satu komponen dalam Teras ke-4. Sekian, terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 8. Terima kasih.

Isu kenaikan harga barangan keperluan harian melibatkan barang makanan sering menghantui pengguna terutama golongan kurang berkemampuan di luar bandar. Adakah kerajaan mempunyai sebarang cadangan khusus agar golongan ini dibantu secara bersasar dan mengelakkan sebarang ketirisan pihak yang boleh mengambil kesempatan?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Berkaitan dengan isu kenaikan harga barangan dan inisiatif kerajaan. Dan seperti mana yang telah pun saya jawab, mengenai soalan daripada Parit Raja pada hari Isnin, inisiatif yang telah pun kerajaan negeri ambil adalah melalui kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menjalankan program Jualan Keluarga Malaysia dengan kerjasama FAMA, LKIM, NAFAS menjalankan, mengadakan aplikasi price catchers supaya pengguna dapat

membuat perbandingan harga serta melalui MySales Tracker yang untuk memberi maklumat kepada pengguna mengenai jualan murah di sekitar mereka.

Untuk maklumat tambahan, KPDNHEP juga menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan di mana harga barang-barang tertentu dikawal seperti contoh gula putih bertapis kasar dan halus, gas petroleum cecair, petrol 95 dan juga barangan yang di bawah skim kawalan harga musim perayaan tertentu.

Kementerian akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada peniaga yang berkaitan untuk mendapatkan butiran lanjut berhubung dengan maklumat harga dan kos barangan tertentu sekiranya wujud kenaikan harga secara mendadak.

Berkaitan dengan soalan spesifik daripada Bukit Naning untuk bantuan kepada golongan tersasar, sepertimana yang diamanatkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari, jaringan keselamatan sosial merupakan satu-satu teras merangkumi aspek menangani isu kemiskinan, pembangunan modal insan, peningkatan pendapatan, di mana kerajaan negeri akan berusaha membantu semua pihak yang memerlukan termasuk melalui inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor. Terima kasih.

Speaker

Bagi Bukit Naning dulu.

Datuk Haji Mohd. Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Adakah kerajaan negeri bercadang memperkasakan ataupun usaha-usaha untuk memperkasakan penggerak KPDNKK ini bagi memantau ataupun sebagai unit memantau harga di negeri Johor ini? Apakah usaha-usaha ataupun program untuk memperkasakan pemantauan harga dalam negeri Johor ini? Sekian, terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker. Untuk maklumat, KPDNHEP Johor mempunyai kekuatan penguatkuasa seramai 200 orang di negeri Johor dan kita juga mempunyai 92 pegawai pemantauan harga yang membuat pemantauan harga secara harian di negeri Johor. Dan berkaitan dengan pemerkasaan penggerak KPDNHEP, kita membuat program kepenggunaan serta taklimat-taklimat kepada semua pihak kadangkala termasuk juga Southern Volunteers yang terlibat, di mana kita bekerjasama dengan mereka untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak supaya KPDNHEP dapat mengambil tindakan sepertimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 21 Akta untuk mendapatkan maklumat lanjutan berkaitan dengan kenaikan harga barangan tertentu. Terima kasih.

Speaker

Jemput Bukit Batu. Lepas ni Puteri Wangsa.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Semalam selepas Menteri KPDNHEP kata bahawa kawalan harga siling ayam dan telur serta subsidi itu minyak masak sawit tulen dalam kemasan 2, 3 dan 5 kg tidak diterusi mulai 1 Julai 2022. Saya dah mohon EXCO untuk bagi penjelasan akan ini... polisi ini akan effect kita punya apa... harga ayam di... keperluan asas di Johor. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker. Ya betul sepertimana yang dinyatakan oleh... dalam kenyataan rasmi Menteri MAFI semalam bahawa subsidi untuk ayam akan tamat 30 Jun 2022. Dan sepertimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan persekutuan sedang dalam usaha untuk menentukan subsidi terus, direct subsidi kepada golongan B40, ia golongan tersasar supaya mekanisme subsidi menjadi lebih efektif dan mekanisme tersebut akan diumumkan oleh kerajaan persekutuan kelak. Terima kasih.

Speaker

Sila Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya berkenaan isu ini adalah tentang sekiranya kita lihat kenaikan harga barang ini yang terkena impaknya bukan sekadar pembeli sahaja tetapi peniaga juga banyak yang mengadu kerana mereka terpaksa mendapatkan keuntungan yang kecil kerana kebergantungan kepada orang ketiga yang menaikkan harga dengan tinggi. Dan, seterusnya di pasar borong sebagai contohnya ada peniaga yang sampai tidak dapat bayar sewa berbulan-bulan dan terpaksa buang pekerja mereka kerana keuntungan yang sangat kecil tu tak dapat nak tampung kos perniagaan. Jadi soalan saya kepada kerajaan negeri sekiranya kerajaan negeri ada apa-apa rancangan untuk sama ada kurangkan kebergantungan peniaga kepada orang ketiga sebagai contohnya dapatkan terus daripada petani dan penternak atau sekurang-kurangnya mengawal harga orang ketiga ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker. Sepertimana juga dinyatakan tempoh hari bahawa kerajaan persekutuan sedang dalam perbincangan dengan kerajaan negeri termasuklah meminta kerjasama dengan negeri, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk menyediakan tanah, lesen kependudukan sementara (TOL) bagi jangka masa panjang serta melibatkan GLC-GLC tertentu dalam usaha dalam rantaian pembekalan makanan kepada rakyat jelata. Dan dengan usaha-usaha ini, kita jangka kita, ia merupakan satu penyelesaian jangka panjang untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang secara mendadak. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Apakah status perkembangan pembinaan RTS di Johor?

Speaker

Maafkan saya. Saya jemput Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan 10.

Adakah terdapat rancangan untuk menyambungkan rangkaian ETS (Electric Train Services) dengan rangkaian RTS?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya ke-11. Terima kasih.

Apakah perancangan kerajaan negeri untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di Johor Bahru dalam tempoh empat tahun yang akan datang sebagai persediaan menanti siapnya Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor – Singapura pada tahun 2026.

Speaker

Sila Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim . Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam Maju

Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, disebabkan ini soalan dijawab bersekali, saya minta izin untuk lebih sikit masa menjawab.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) adalah merupakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) yang mempunyai jajaran sepanjang 4km menghubungkan antara Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands (North Link Singapura).

Projek ini telah dimulakan pembinaannya bermula Januari 2021 dan kerja-kerja infrastuktur awam untuk projek ini dijangka siap pada akhir tahun 2024. Jumlah keseluruhan projek ini dianggarkan berjumlah RM3.7 bilion di bawah kendalian Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Projek RTS Link yang mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam sehala juga dapat menggalakkan rakyat untuk mula beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di Tambak Johor yang merupakan lintasan sempadan paling sibuk di dunia.

Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, projek RTS Link dijangka memberi manfaat yang besar kepada ekonomi Johor khususnya dan negara amnya terutama dari segi peningkatan nilai hartanah, pemangkin kepada aktiviti ekonomi serta kegiatan pelancongan, pelaburan dan juga peruncitan.

Projek ini juga memberi keselesaan kepada rakyat kedua-dua buah negara yang perlu berulang-alik Singapura dan Johor untuk bekerja selain mendapatkan perkhidmatan seperti perubatan dan juga pendidikan. Secara keseluruhannya projek ini bakal menjadi penggalak pembangunan lebih pesat untuk Johor dan Malaysia amnya.

Untuk makluman Yang Berhormat Stulang, perkembangan terkini bagi pembangunan infastruktur kereta api projek RTS Link sehingga 30 Mei 2022, telah mencapai kemajuan 17%. Projek RTS Link ini dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada Disember 2026. Dan dijangka mula beroperasi pada 1 Januari 2017.

Sasaran pencapaian setiap tahun adalah seperti berikut :-

Pada hujung tahun 2022, sasaran 35% untuk rel, stesen dan juga depoh; manakala 25% untuk ICQ. Pada akhir tahun 2023, kita sasarkan 70% rel, stesen dan juga depoh, manakala 50% untuk ICQ. Dan pada tahun 2024, sasaran kita ialah rel, stesen dan depoh siap 100%, manakala ICQ 70%. Pada tahun 2025, sasaran pemasangan tren, sistem dan juga testing untuk sistem dan juga 100% siap ICQ. Pada tahun 2026, kita jangkakan sistem testing dan 15% pengguna BSI akan menggunakan RTS.

Kerajaan negeri mengambil tanggungjawab bagi memastikan projek mega ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dan kita komited. Maka itu, kita telah menubuhkan satu task force penyelarasan projek RTS yang bermesyuarat 4 kali setahun dan laporan kemajuan kerja diterima setiap bulan.

Untuk makluman Yang Berhormat Mengkibol pula dan Ahli Dewan yang mulia, stesen ETS (Electric Train Services) dengan izin masih dikekalkan di JB Central dan tiada stesen khusus bagi ETS berada bersama RTS. Ini adalah disebabkan kawasan ICQ dan stesen RTS adalah kawasan dan tempat larangan, security and restricted area dengan izin, di mana hanya penumpang yang perjalanannya ke Singapura sahaja dibenarkan berada di kawasan RTS. Walau bagaimanapun Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTM) bagi perkhidmatan ETS di Johor Bahru Central akan dihubungkan dengan jejantas berbumbung (pedestrian

overhead bridge) dengan izin sepanjang 462 meter yang akan dibina dan dijangka siap pada tahun 2026 di mana RTS mula beroperasi untuk penumpang-penumpang ke Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin BSI dan juga stesen RTS di Bukit Chagar.

Jejantas berbumbung ini akan dibina dan dilaksanakan oleh anak syarikat MRT Corp iaitu Malaysia Rapid System Sdn. Bhd. (MRTS) bagi menjamin ketersambungan dengan izin similus connectivity kepada pengangkutan awam di pusat bandar Johor Bahru, yang merangkumi bas awam, e-Hailing dan teksi serta bas Rapid Transit (ERT) yang akan dibangunkan oleh pihak IRDA.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri dalam perancangan mewujudkan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam di Johor Bahru bagi merangka aliran pergerakan penumpang yang menggunakan Rapid Transit System ini. Antara sistem yang akan diintegrasikan ialah sistem bas, perkhidmatan Bas Muafakat Johor dan juga bas-bas komersil, Sistem Iskandar Rapid Transit, projek landasan elektrik berkembar Gemas – Johor Bahru dan cadangan pembangunan LRT di Johor Bahru.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga sedang merancang membangunkan cadangan tempat letak kenderaan berpusat di Plaza Seni dan juga Danga City Mall.

Kerajaan negeri Johor memandang serius usaha-usaha menambahbaik dan memperkasa mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Johor. Salah satu usaha yang telah dilaksanakan adalah pelaksanaan program Stage Bus Service Transformation (SBST) atau dikenali sebagai Mybus di bawah inisiatif kerajaan pusat yang terbukti lebih dinamik dalam memperkasa perkhidmatan awam seperti yang telah dilaksanakan di negeri-negeri seperti Kangar, Ipoh, Seremban dan juga Kuala Terengganu. SBST di negeri Johor melibatkan 19 laluan, yang mana perkhidmatan ini telah pun bermula beroperasi secara berperingkat sejak Mac 2022.

Sebelum RTS memulakan operasinya pada 1 Januari 2027, perkhidmatan rel dari JB Central ke Woodlands di Singapura yang dikenali sebagai shuttle Tebrau juga telah beroperasi semula pada 19 Jun 2022 yang lepas. Sebanyak 31 trip perkhidmatan beroperasi setiap hari dengan 18 perjalanan dari JB Central ke Woodlands, manakala 13 perjalanan dari Woodlands ke JB Central. Dan, dijangkakan maksimum kapasiti 7,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

Buat masa sekarang, kapasiti pengguna dihadkan kepada hanya 240 orang per trip kerana penambahbaikan oleh pihak berkuasa Imigresen dan pemeriksaan Singapura (ICA), Jabatan Imigresen dan juga Kastam DiRaja Malaysia melibatkan penggunaan digital arrival card dan face image scanner.

Usaha lain dalam menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam semasa adalah menyediakan perkhidmatan shuttle bas di bawah kelolaan MBJB. Pihak MBJB merancang untuk menyediakan perkhidmatan shuttle bas dan akan beroperasi dengan kekerapan setiap 30 minit mulai 7 pagi hingga 12 tengah malam. Laluan lokasi adalah Hospital Sultanah Aminah, Zoo Johor, Bangunan Badan Perhubungan UMNO Jalan Yahya Awal, Johor Tourist Information Centre (JOTIC), Majlis Bandaraya Johor Bahru, Jalan Dato’ Onn, Johor Bahru City Centre (JBCC), Hotel Doubletree, Persada, Galeri, CIQ, R&F Mall, Country Garden dan juga Hotel M Suite ini adalah bertujuan bagi memudahkan pergerakan orang ramai untuk masuk ke pusat bandar Johor Bahru tanpa perlu membawa kenderaan mereka di samping mengurangkan isu kesesakan lalu lintas. Pembinaan Projek Landasan Berkembar, Train Electric masih giat dijalankan dan dijangkakan beroperasi pada tahun 2023. Ianya memudahkan pengguna yang ingin ke bandar raya Johor Bahru menaiki sistem ETS, di mana stesen ETS terletak di JB Central. Pihak kerajaan negeri juga komited untuk menambah baik kualiti perkhidmatan pengangkutan awam melalui projek Bus Rapid Transit

BRT di bawah Iskandar Rapid Transit. Projek BRT fasa 1 sepanjang 55 km melibatkan 3 koridor, Skudai, Iskandar Puteri dan Tebrau dengan jumlah stesen sebanyak 22 buah dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2025. Projek BRT fasa 1 ini juga akan meningkatkan 39% capaian dan jaringan pengangkutan awam ke 90% bagi kawasan berkependudukan tinggi dalam daerah Johor Bahru. Projek BRT ini akan diintegrasikan dengan perkhidmatan awam lain seperti Bas Muafakat Johor serta projek-projek berimpak tinggi pada masa akan datang seperti ETS dan RTS dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam secara menyeluruh. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya persilakan Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Bukit Pasir. Soalan saya ialah adakah pekerjaan di pakej Malaysia ini belum bermula ataupun ditangguhkan dan tidak mengikut jadual. Kedua ialah soalan tentang pengangkutan awam. Adakah kerajaan bersedia untuk mensasarkan 50% penggunaan pengangkutan awam di daerah Johor Bahru pada, apabila RTS bermula operasi? Kerana sekarang penggunaan pengangkutan awam ini amat rendah. Dan kalau sasaran itu kita bersedia untuk mensasar 50% penggunaan pengangkutan awam, maka integrasi perlu berlaku sekarang dengan persediaan yang lebih kerap dan lebih baik. Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Stulang. Untuk makluman, ah Perling, minta maaf. Untuk makluman Yang Berhormat tadi saya ada sebutkan bahawa pembangunan kemajuan projek ini setakat Mei 2022 ialah 17%, kerja-kerja fizikal di tapak telah pun bermula. Dan pada hujung tahun ini seperti yang saya katakan tadi, kita jangkakan 35% kerja-kerja di rail station dan juga depoh dan 25% untuk kerja-kerja di ICQ. Menjawab soalan yang kedua Yang Berhormat Perling tadi, kita dalam proses mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam di Johor. Saya faham hasrat 50% itu hasrat yang baik, tapi walau bagaimanapun kita perlukan, pastikan integrasi ini berjalan dulu, sebab kebanyakan sistem yang ada sekarang tidak berhubung kait sesama sendiri. Bas dan juga teksi, teksi dan juga RTS dan sebagainya. Tetapi untuk makluman Yang Berhormat, seperti yang saya sebutkan tadi, kerajaan negeri begitu komited. Maka sebab itu kita akan tubuhkan satu jawatankuasa pengintegrasian, satu Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam di Johor Bahru. Jadi kita akan buat jawatankuasa ini dalam masa terdekat dan insya-Allah seperti saya jangkakan tadi, kita bukan sahaja dapat 50% penggunaan perkhidmatan awam di Johor kita target sehingga 90%. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Ya, saya jemput Tangkak.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Stulang

Speaker

Eh Stulang. Maafkan saya.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan YB EXCO. Perkembangan pembinaan RTS ini seringkali dikaitkan dengan pembangunan di sekitar tapak RTS ini. Jadi penduduk di Kim Teng Park ya, tidak pernah mereka sentiasa rasa risau sama ada kerana pembangunan akhirnya akan menganggu mereka atau sama ada tanah mereka akan diambil dan sebagainya. Untuk makluman Kim Teng Park telah pun ada cubaan untuk mengambil tanah mereka beberapa kali dan sejak apa perancangan akhir ini. Tadi hanya saya nak tanya kepada Dewan ini, sebelum ini pendirian adalah sangat jelas untuk para penduduk adalah sekiranya ada sebarang cubaan ataupun hasrat untuk mengambil tanah mereka, pendirian penduduk adalah sangat jelas adalah mereka perlu dibawa berunding dahulu kerana mereka tidak mahu dikejutkan

dengan Seksyen 4, tiba-tiba Seksyen 4 mereka terkejut. Ini pendirian mereka. Jadi soalan saya adalah adakah pada masa sekarang ada tak sebarang syarikat swasta berurusan ataupun berunding dengan kerajaan untuk mengambil tanah, kalau ada saya rasa adalah perlu berunding ataupun bertanya mendapatkan pendapat daripada penduduk dahulu. Sekian, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Perling, Stulang pulak minta maaf. Untuk makluman Yang Berhormat Stulang, isu yang dibangkitkan tadi buat masa ini kami belum dapat maklumat tapi bagi memastikan keadilan untuk semua, terutamanya penduduk di kawasan sekitar, kita telah menubuhkan Task Force Penyelarasan Projek yang mana bermesyuarat 4 kali dan saya rasa, saya ingat task force ini dah dibuat 2 tahun lepas dan sebarang isu terutamanya pasal penempatan tadi boleh dibawa ke Majlis melalui sesi pendengaran awam dan akan dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan task force ini. Dan jika ada isu Yang Berhormat boleh bawakanlah kepada Majlis dan Majlis akan bawa ke dalam task force ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Selamat pagi, salam sejahtera, Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 12.

Apakah status terkini pelantikan ketua masyarakat bagi kampung baru di seluruh negeri Johor?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker, salam perpaduan, salam sihat Bangsa Johor, salam Maju Johor. Terima kasih soalan daripada YB Pekan Nanas. Sebelum saya menjawab soalan daripada YB Pekan Nanas, ingin saya berkongsi sedikit maklumat dengan sidang Dewan sekalian bagi pengurusan kampung baru atau bahagian kampung baru telah dipindahkan ke Kementerian Perpaduan Malaysia dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengikut keputusan Kabinet dan jumlah kampung-kampung baru di dalam negeri Johor adalah 123.

Bagi menjawab soalan Pekan Nanas, merujuk kepada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 31 Mei yang lalu, mesyuarat telah meluluskan menimbalguna tatacara pengurusan dan pelaksanaan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kampung-kampung baru. Untuk maklumat, Jawatankuasa Panel Penilaian Anggota (JPPA) telah dijalankan oleh Pejabat Daerah dan diketuai oleh tuan-tuan DO bagi pelantikan ketua kampung, kampung baru. Pengiklanan bagi kekosongan pelantikan ketua kampung baru Cina juga telah disebarkan dan fasa sesi temu duga calon-calon yang menghantar permohonan juga telah selesai. Sekarang dalam fasa menunggu perakuan dari Pejabat-pejabat Daerah dan tapisan dari pihak berkuasa. Sekian, terima kasih.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih jawapan dari EXCO, saya mohon penjelasan daripada pihak kerajaan tentang elaun ketua kampung yang hanya diberikan sebanyak RM900.00 sebulan sedang gaji minimum sudah ditetapkan RM1,500. Soalan saya adakah kerajaan negeri pertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun ini? Terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih. Soalan tambahan YB Pekan Nanas. Memang ya. Elaun yang dapat daripada ketua-ketua masyarakat yang ada sekarang ini adalah RM900.00 iaitu RM500.00 daripada Kementerian dan RM400.00 daripada kerajaan negeri dan kami sedang dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor juga kami juga sedang berbincang untuk berbincang dengan Kementerian berkenaan untuk menambah ataupun meningkatkan elaun yang daripada pusat dan bagi

pihak kerajaan negeri, selepas kami berbincang dan dapat jawapan daripada Kementerian, kerajaan negeri barulah akan buat keputusan macam mana kita nak meningkatkan apa yang kita boleh bantu kepada ketua-ketua kampung ataupun ketua-ketua masyarakat. Terima kasih.

Speaker

Ya saya persilakan Tangkak

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan daripada Tangkak adalah berkenaan dengan peruntukan tahunan, peruntukan pembangunan tahunan daripada Kementerian KPKT iaitu bagi setiap kampung baru setahun boleh memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM100,000.00 untuk sebuah kampung. Jadi masalah yang muncul di negeri Johor sejak tahun 2020, iaitu selepas ketua-ketua masyarakat sebanyak 123 ketua masyarakat telah meletak jawatan dan kekosongan itu berterusan sehingga kini. Jadi soalan Tangkak adalah ke mana pergi peruntukan-peruntukan yang sepatutnya diberi kepada semua kampung baru Tangkak selama 3 tahun berturut-turut ini? Sekian, terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih YB Tangkak dengan soalan tambahannya, memang benar setiap kampung baru dibenarkan untuk memohon projek pembangunan bagi kampung baru adalah siling dia adalah RM100,000.00 dan pada tahun kebelakangan ini 2020 dan 2021 memang benar kami tak dapat melantik ketua-ketua masyarakat di kampung baru dengan situasi yang sebelumnya, dengan ketidakstabilan politiknya. Oleh itu mulai tahun ini mudah-mudahan dengan kestabilan politik yang ada, dengan majoriti sini yang ada mudah-mudahan kita akan kerja perlantikan seterusnya dengan kadar segera supaya tidak tercicir lagi peruntukan daripada kampung-kampung baru dalam negeri Johor ini (Dewan bertepuk). Dan kalau mengikut piawainnya yang sebelum peruntukan yang tidak diguna pakai akan ditarik balik oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Itu saja. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 13. Terima kasih.

Sektor pertanian seperti penamanan durian di kawasan Jementah semakin berkembang, apakah inisiatif kerajaan terutama dari segi infrastruktur dalam membantu golongan petani ini? Apakah rancangan untuk memperkembangkan industri pemprosesan buah-buahan di kawasan ini?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Jementah atas soalan yang diajukan.

Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli Dewan, negeri Johor pengeluar terbesar buah-buahan dalam negara. Pada tahun 2021 negeri Johor telah mengeluarkan hasil buah-buahan sebanyak 669,760 metrik tan bagi 7 jenis buah-buahan yang menjadi keutamaan iaitu buah betik, nanas, nangka, pisang, tembikai, kelapa dan durian. Dengan keluasan keseluruhannya seluas 56,084 hektar dan melibatkan 59,619 pengusaha. Sehubungan dengan itu, ianya menjadi salah satu keutamaan dalam agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor dalam usaha untuk mengekalkan success story tersebut dan bagi memperkasakan lagi pengeluaran komoditi buah-buahan termasuklah buah-buahan jangka panjang terutamanya buah durian. Selain daripada untuk meningkatkan kadar sara diri atau SSL negara, tumpuan bagi pengeluaran buah-buahan ini adalah untuk tujuan aktiviti pemprosesan makanan dan bekalan eksport ke luar negara.

Pada tahun 2021 sahaja, negeri Johor telah mengeluarkan sebanyak 121,898 metrik tan buah durian, melibatkan 31,255 orang pengusaha dengan keluasan tanah lebih kurang 19,171 hektar. Kehadapan ini kerajaan negeri Johor mensasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan sebanyak 141,862 metrik tan untuk tahun 2027, iaitu peningkatan sebanyak 13.47%.

Merujuk kepada soalan Yang Berhormat Jementah, berkaitan inisiatif kerajaan untuk membantu petani-petani termasuk di kawasan Jementah sendiri. Usahawan dan petani-petani dibantu dari segi pembangunan kawasan sedia ada iaitu:

1. Kerja-kerja pembersihan dan penyediaan kawasan.

2. Bantuan penyediaan infrastruktur ladang iaitu sistem pengairan, saliran, perparitan, pembinaan jambatan, jalan ladang, jalan masuk ke ladang, pagar, bangsal, kompos serta papan tanda.

3. Pembelian input pertanian iaitu baja kimia, baja organik, racun dan penggantian anak pokok termasuk kerja-kerja cantasan dan cantuman.

4. Petani dan usahawan ini dibantu dari segi kemudahan pengendalian lepas tuai, iaitu pembinaan pusat pengumpulan dan pusat pemprosesan stor dan pembelian peralatan untuk pengredan, pembelian untuk rawatan asas kuarantin dan peralatan jualan terus.

Untuk melonjakkan lagi industri tanaman durian, maka skop bantuan ini dicadang untuk diperluaskan lagi pada tahun-tahun akan datang. Beberapa inisiatif telah dirangka termasuk

1. Pengeluaran benih durian premium atau oleh stesen Jabatan Pertanian dan Nurseri Buah-Buahan berdaftar. 2. Pemberian matching grant. 3. Pembangunan model farm dan kepakaran teknikal dan 4. Pembangunan piawaian durian dan element sustainability.

Selain itu, kursus, latihan dan khidmat nasihat turut diberikan kepada petani di dalam pengurusan tanaman durian. Petani juga boleh mendapatkan khidmat teknikal dari segi pengurusan perosak dan penyakit tanaman durian melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian. Secara keseluruhannya, sejak tahun 2018, minta maaf, tahun 2018 sehingga tahun 2022 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6,340,913.00 bagi pembangunan tanaman khusus untuk buah durian di negeri Johor. Pada tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan insentif sebanyak RM2,173,063.00 bagi pembangunan industri tanaman durian kepada 233 pengusaha yang melibatkan keluasan sebanyak seluas 204.9 hektar seluruh negeri Johor. Dan untuk kawasan Yang Berhormat, seramai 16 pengusaha melibatkan 28.12 hektar telah mendapat manfaat untuk tahun ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM112,748.00. Senarai 16 pengusaha saya akan berikan kepada Yang Berhormat.

Pusat pemprosesan, berkenaan industri pemprosesan buah-buahan yang diutarakan oleh Yang Berhormat pula, FAMA daerah Tangkak telah membangunkan sebuah pusat pemprosesan durian bertaraf GMP. Pusat pemprosesan ini telah berjaya meningkatkan nilai tambah serta menangani masalah lambakan durian yang berlaku di kawasan utara Johor iaitu daerah Tangkak, Muar dan Segamat. Pusat pemprosesan FAMA Tangkak ini berfungsi memproses durian segar kepada isi durian dan tempoyak untuk pasaran tempatan. Pusat pemprosesan durian ini mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak 2 tan buah segar setiap hari. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah mesin pengasingan isi durian, mesin vacum pack, blast freezer dan cold room yang boleh menyimpan 22 metrik tan isi

durian dalam beku dalam satu-satu masa. Selain itu, pihak jabatan juga melaksanakan kerjasama dengan pihak syarikat peneraju dan aktiviti pemprosesan durian bagi membangunkan produk-produk hiliran berasaskan durian dan ia seterusnya langsung akan membantu pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana dalam memasarkan hasil pengeluaran mereka. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Soalan tambahan.

Speaker

Sebab tadi tak bangunkan. Saya jemput Jementah, silakan.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Buloh Kasap. Soalan tambahan Jementah. Bagaimanakah pihak kerajaan negeri membantu para petani untuk mempertingkatkan mutu dan hasil keluaran makanan dari segi teknologi? Dan bagaimanakah pihak kerajaan negeri menggalakkan golongan belia untuk melabur atau mengambil bahagian dalam bidang pertanian? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Jementah. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan ini mempunyai jawapan yang agak panjang.

Speaker

Bagi jawapan bertulis, senang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Kalau Yang Berhormat izinkan, dan Yang Berhormat Jementah setuju. Sebab dia soalan dia agak banyak, bagaimana meningkatkan mutu dan kualiti. Jadi ada banyak insentif yang kita berikan kepada petani.

Speaker

Ok, jawapan bertulis.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Jementah setuju? Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 14.

Apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk membina lebih banyak rumah PPR bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman khususnya di DUN Pasir Raja?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Skudai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 15 dan 16.

Adakah bilangan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) mencukupi untuk memenuhi permintaan di negeri Johor khususnya sekitar kawasan membangun?

Adakah pihak kerajaan negeri Johor mempunyai sebarang perancangan khusus untuk membaik pulih dan menyelenggara rumah pangsa usang di negeri Johor sebagai melengkapi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia?

Speaker

Silakan, jawab bersekali.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhorrmat Datuk Speaker, saya akan jawab soalan ini bersekali dengan Soalan A28 YB Pasir Raja, A36 dan A37 YB Skudai, berkaitan Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Sewa Kerajaan (RSK), rumah pangsa atau flat di negeri Johor. Sebelum itu, suka untuk saya berkongsi dengan seluruh Ahli Dewan perbezaan antara punca kuasa pemilikan atau ownership, badan penyelenggaraan atau aspek lain antara Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Sewa Kerajaan (RSK) dan Ruma Sewa Beli (RSB) dan rumah pangsa awam iaitu flat. PPR dan RSK merupakan rumah yang hanya disewakan sahaja dan tidak boleh dimiliki antara RM125.00 hingga RM250.00 sebulan. Kadar sewa RSK pula adalah antara RM60.00 dan RM150.00 sebulan. Dan kedua-dua ini diselenggara oleh pihak kerajaan.

Rumah Sewa Beli (RSB) pula merupakan rumah yang disewa bagi tujuan dimiliki atau skim rent to own, ataupun rent financing. Manakala, rumah pangsa awam atau rumah flat awam adalah rumah yang dibeli terus dengan pemaju melalui perjanjian jual beli biasa dan diselenggarakan oleh badan pengurusan yang dibentuk oleh pembeli-pembeli itu sendiri atau JMB, dengan izin, Joint Management Board. Bagi rumah PPR, permintaannya sentiasa akan meningkat kerana stok rumah PPR sedia ada tidak pernah kosong walau pun hasrat PPR adalah mendiami dalam tempoh 2 tahun. Tetapi, dari profiling yang dilaksanakan oleh pihak PKPJ, peratusan mereka yang memulangkan PPR adalah sangat sedikit. Maknanya, PPR ini mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Malahan itu, malahan ia sudah seperti menjadi warisan turun temurun. Tidak hanya itu, terdapat juga situasi permohonan PPR bukan hanya datang daripada bapa, tetapi juga daripada anak-anak yang telah berkahwin. Hal ini bermakna, ada keluarga dalam keluarga yang memohon juga. Ini tidak termasuk, isu sewa atas sewa yang berlaku ketika ini. PKPJ dalam tindakan mengumpulkan maklumat dan sedang membuat data dalam bentuk profiling kerana itulah PKPJ sedang melaksanakan reengineering process dari aspek SOP dan dokumen supaya mereka yang mendiami PPR adalah profiling sendiri. Dan PKPJ dalam usaha memudahkan urusan ini hasil daripada profiling kita akan mudah untuk merangka gerak kerja dan tindakan yang difikirkan perlu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat pastinya penyediaan perumahan rakyat, khususnya kepada golongan B40 dan M40 menjadi tumpuan dan agenda utama kerajaan pada hari ini. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada masa ini terdapat 14,531 unit rumah PPR dan rumah RSK di seluruh negeri Johor di mana 93.2% ataupun 13,542 unit yang dianggarkan memberi manfaat kepada lebih 65,000 orang isi rumah yang telah diisi. Peratusan pengisian di PPR dan RSK ini akan meningkat apabila proses penawaran yang sedang dilaksanakan di PPR Melana Indah 2 yang telah baru diserahkan kepada PKPJ akan dapat disempurnakan dalam masa terdekat.

Berita baik untuk Bangsa Johor. Pada masa ini terdapat 3 lagi projek PPR di daerah Johor Bahru yang dijangka siap pada tahun 2023 dan 2024 iaitu, PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya yang melibatkan sejumlah 1,430 unit. Di samping itu juga, terdapat lagi 3 projek PPR di luar Johor Bahru yang sedang dalam pembinaan atau peringkat perancangan perolehan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu PPR Bandar Tenggara, PPR Sembrong dan PPR Pengerang Kecil melibatkan 1,100 unit rumah. Dan saya dimaklumkan ada teknikal isu di 2 kawasan ini, insya-Allah PDRC yang kita bentuk akan cuba menyelesaikannya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput, Skudai.

Soalan tambahan. Apakah perancangan atau pun usaha yang akan dilakukan kerajaan negeri untuk membantu kawasan flat kos rendah yang mana kita lihat ada setengahnya JMB tidak aktif? Dan jika kita lihat pengurusan JMB sendiri tersepit dekat di tengah-tengah di dalam menyelesaikan permasalahan dan penyelenggaraan kawasan flat dan mereka juga terhimpit dengan masalah hutang penyelenggaraan. Dan bagi saya juga, kalau kita terus biarkan masalah ini berlarutan kemungkinan akan menjadi masalah besar untuk kerajaan negeri pada masa akan datang dan usaha kita untuk menjadikan flat-flat di negara kita ini seperti negara luar, mungkin tak akan tercapai.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang saya maklumkan sebentar tadi. Rumah Pangsa Awam atau flat ini, yang mempunyai pemilikan strata. Kerajaan negeri melalui pihak PBT akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan badan pengurusan bersama atau Joint Management Body, dengan izin bagi membantu melaksanakan pindahan, baik pulih serta penyelenggaraan skim-skim strata tersebut. Untuk makluman tambahan di Dewan, berdasarkan laporan peruntukan pembangunan yang disalurkan kerajaan persekutuan dan negeri bagi penyelenggaraan dan pembaikan fizikal PPR dan RSK ini di bawah kerajaan untuk tempoh 2020 dan 2022 adalah berjumlah RM23 juta. Kita di peringkat PPR, RSK ada 20 projek. Tetapi di Johor Bahru sahaja kalau melibatkan projek flat rumah ini di Bandaraya MBIP, MBJB, dengan Bandaraya Pasir Gudang ada 130,000 projek rumah flat. Insya-Allah. Kita akan melihat isu ini by cases. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.24 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.04 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.24 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini seperti mana yang saya sebut di awal sesi pagi tadi, merupakan hari terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa dan seterusnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Saya jemput, Yang Berhormat Penggaram, silakan.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Patik merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan dan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Daulat Tuanku. Patik mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Penggaram ingin menyampaikan beberapa keutamaan rakyat negeri Johor pada ketika ini di dalam melewati kehidupan harian di mana ia memberi kesan terhadap kesejahteraan sosial dan tahap kualiti hidup. Penggaram melihat Bangsa Johor ketika ini semakin jauh untuk

mengecapi tahap kehidupan yang berkualiti apabila keutamaan mereka pada ketika ini adalah bagaimana cara untuk meneruskan hidup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama, Penggaram ingin memaklumkan tentang kesesakan lalu lintas. Negara dikejutkan pada minggu lalu apabila statistik jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk dan ia meningkat 2 juta buah sejak tahun 2019. Dan, perkara ini telah menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Ketika waktu kemuncak, khususnya pda waktu pagi, ramai yang perlu menghantar anak-anak ke sekolah, pusat-pusat asuhan dan perlu ke tempat kerja, mereka perlu bangun pada awal pagi hanya untuk mengelak kesesakan lalu lintas. Walaupun mereka berhadapan dengan aktiviti seperti ini pada setiap hari, tetapi mereka tiada pilihan untuk berasa jemu. Di Batu Pahat, keadaan lalu lintas yang sesak ketika waktu kemuncak telah wujud dan perkara ini telah membawa kepada pelbagai kajian lalu lintas di pelbagai peringkat dan melibatkan pelbagai agensi serta universiti tempatan. Walau bagaimanapun, hasil daripada kajian tesebut kita tidak dapat mengaplikasi untuk mengatasi punca-punca yang dikenal pasti apabila agensi-agensi kerajaan mempunyai kekangan daripada segi peruntukan.

Penggaram maklum agensi-agensi berkaitan sebenarnya bergantung kepada peruntukan yang disediakan tetapi Penggaram tidak meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada agensi-agensi yang terlibat mahupun di bahu kerajaan negeri kerana seperti yang kata ini, kita dimaklum peruntukan yang diperolehi dari kerajaan persekutuan sangat terhad. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memudahkan rakyat dan ia sepatutnya telah disempurnakan. Tetapi malangnya, sehingga kini ia tidak disempurnakan dengan baik. Sebagai contoh, Penggaram ingin memaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, status jalan menghubung antara Jalan Tanjong Labuh dan Jalan Kluang melalui Kampung Rahmat yang masih belum dibuka untuk laluan orang awam, penggunaan jalan ini akan memberi penjimatan masa sebanyak lebih kurang 25 minit berbanding menggunakan laluan melalui pusat bandar Batu Pahat.

Dan, perkara ini sangat memberi kesan kepada pengguna. Bahkan ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Batu Pahat ketika waktu kemuncak. Projek pembinaan yang awalnya dijangka siap pada tahun 2020 sehingga kini masih belum disiapkan untuk kegunaan rakyat Batu Pahat. Saya dimaklumkan progres projek ini hanya tinggal 2% sahaja semenjak tahun 2021. Dan, sehingga kini tiada sebarang perubahan progres. Penggaram ingin mengetahui, apakah punca sebenarnya yang menjurus kepada masalah ini sehingga baki 2% ini perlu mengambil masa yang begitu panjang untuk diselesaikan? Penggaram berharap agar projek pembinaan jalan tersebut dapat disempurnakan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Batu Pahat mempunyai 4 jalan utama yang menghubungkan pusat bandar. Pertama adalah Jalan Kluang yang menghubungkan pusat bandar Batu Pahat dengan daerah Kluang. Bermula dari persimpangan Simpang Rantai sehingga persimpangan Jalan Bakau Chondong. Kawasan ini sering berlaku kesesakan apabila terdapat 3 persimpangan lampu isyarat yang terlalu berhampiran. Kenderaan dari Jalan Tanah Merah terpaksa menunggu sebanyak 4 hingga 5 kali pusingan lampu isyarat ketika waktu kemuncak untuk keluar dari Jalan Kluang.

Kedua, Jalan Bukit Pasir yang menghubungkan pekan-pekan utama di pinggir Batu Pahat seperti Tongkang Pechah dan Yong Peng. Pertambahan taman-taman perumahan yang begitu pesat di sekitar Bukit Pasir telah menambah kapasiti penggunaan jalan tersebut. Situasi yang sama juga berlaku di Jalan Tanjong Labuh yang menghubungkan pekan-pekan utama di pinggir Batu Pahat iaitu Senggarang dan Rengit serta daerah Pontian. Kesesakan sering berlaku berhampiran persimpangan Bukit Pelana sehingga Taman Banang Jaya. Di sepanjang kawasan ini terdapat 3 buah sekolah yang berhampiran hingga menyumbang kepada kesesakan ketika waktu kemuncak. Bukan itu sahaja, penduduk di sekitar jalan

tersebut berhadapan dengan risiko keselamatan setiap kali untuk melintas keluar ke kedua-dua jalan utama ini.

Penggaram pernah membangkit perkara ini, tetapi sehingga kini Penggaram tidak melihat sebarang tindakan diambil oleh pihak kerajaan. Takkanlah ingin menunggu jalan tersebut berstatus bahaya barulah pihak kerajaan mengambil tindakan? Sebagai kerajaan yang prihatin, Penggaram berharap ada tindakan susulan selepas ini dari pihak kerajaan. Keadaan yang sama juga seperti di Jalan Muar-Batu Pahat yang merupakan antara jalan utama di Batu Pahat di mana terdapat kampung-kampung di sepanjang jalan tersebut dan kesukaran untuk melintas keluar khususnya di hadapan Hospital Putra. Penggaram ingin mengetahui apakah rancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah di jalan-jalan utama ini?

Perkara yang kedua, bencana alam atau banjir. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti kesesakan lalu lintas, isu banjir adalah perkara utama yang wajib dipandang serius oleh kerajaan. Penggaram tidak ingat berapa kali isu banjir ini dibangkit di dalam Dewan ini. Sebelum ini ketika sidang Dewan ini mempunyai Ahli Dewan yang juga merupakan seorang Perdana Menteri. Penggaram pernah menyuarakan keperluan untuk kerja mendalamkan Sungai Batu Pahat. Sejak tahun 2008, tiada kerja-kerja menggali sungai tersebut sebagai langkah jangka pendek bagi menyelesaikan masalah banjir di penempatan sekitar Sungai Batu Pahat. Tetapi malangnya tiada apa-apa langkah jangka pendek mahupun tindakan yang dijalankan untuk mengatasi masalah ini. Setiap kali fenomena air pasang laut besar, ketinggian paras air pasang mencecah 3 meter, sudah mampu membanjiri penempatan sekitarnya. Penduduk mengeluh berapa banyak kali mereka perlu membersihkan kediaman mereka akibat banjir? Itu tidak lagi termasuk kerosakan harta benda yang ditanggung oleh penduduk. Ketika berlaku air pasang besar, penduduk terpaksa berhadapan banjir selama 3 hingga 4 hari berturut-turut dalam tempoh sebulan. Itu belum lagi jika berlaku hujan lebat ketika fenomena air pasang. Maka banjirlah hampir seluruh kawasan di bandar Batu Pahat termasuk stadium, beberapa pejabat-pejabat kerajaan, tamah-tamah perumahan dan jalan-jalan utama.

Perkara ini sudah pasti telah mencalar imej jabatan-jabatan dan agensi kerajaan tidak kira di peringkat negeri mahupun persekutuan. Penggaram meneliti jawapan yang diberikan oleh EXCO Kerajaan Tempatan yang lalu, di mana penyelesaian untuk banjir di kawasan bandar adalah dengan membuat, membina kolam takungan air. Tetapi, Penggaram dimaklumkan tiada lagi kawasan di bandar Batu Pahat yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan air. Justeru, Penggaram mahu kerajaan memikirkan caranya tidak kira sama ada mempunyai teknologi baru atau cara yang berlain atau apa-apa sahaja untuk mengatasi masalah ini. Krisis iklim menjadikan paras laut meningkat 1cm pada setiap tahun dan ramalan menjangkakan bandar Batu Pahat akan tenggelam pada tahun 2050. Apakah langkah yang rancangan dan rancangan kerajaan untuk berhadapan dengan situasi ini? Negara jiran, Singapura telah merancang dan membuat persediaan untuk menghadapi krisis iklim ini dan Penggaram berharap kerajaan juga bersedia dengan rancangan jangka panjang dan lebih jauh. Bagi masalah ini, jika rancangan kerajaan untuk masalah banjir sehingga 2030, ianya hanya tinggal sekitar 8 tahun sahaja dari sekarang.

Penggaram dimaklumkan JPS telah mula membina benteng tanah sepanjang 200 meter bermula dari Parit Lapis bagi mengelakkan limpahan air dari sungai. Penggaram berharap kerja pembinaan benteng tanah tersebut dapat diteruskan segera sehingga ke Taman Nira bagi mengelakkan perkara yang sama berulang. Rakyat baru terlepas dari pandemik. Selain daripada mengalami kerisauan berpanjangan terhadap bencana banjir, mereka tidak mampu lagi menanggung kerugian kerosakan harta benda.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ketiga adalah kesihatan. Kesihatan adalah kekayaan. Tanpa kesihatan yang baik, ia pastinya akan menjejaskan produktiviti individu,

keluarga dan negeri, apatah lagi kos rawatan kesihatan mutakhir ini semakin tinggi dan membebankan rakyat. Penggaram mengambil maklum titah Tuanku berkenaan tahap hospital-hospital yang berada di negeri ini. Penggaram tidak akan mengambil masa panjang untuk menyentuh perkara ini disebabkan ramai juga Ahli-Ahli Dewan yang lain sama ada di pihak sini atau sana, turut menzahir kebimbangan yang sama.

Penggaram ingin menyentuh tentang pembiakan aedes yang menyumbang kepada wabak denggi yang tidak pernah kesudahan, berkesudahan. Penggaram mengucapkan terima kasih di atas usaha Pejabat Kesihatan yang sentiasa menjalankan pemeriksaan di kawasan-kawasan perumahan dan premis-premis komersial. Cuma, apakah langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap kawasan-kawasan tanah lapang, kawasan-kawasan lapang terbiar, rumah terbiar yang dipenuhi semak samun sehingga menjadi tempat pembuangan sampah dan menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes dan penyebab denggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ketika negeri memerlukan kehadiran pelabur-pelabur luar, para pengusaha kilang dilihat lebih berminat untuk melabur dan menjalankan perusahaan kilang mereka di Vietnam dan di Indonesia. Bukan hanya kerana kos tenaga kerja yang murah dan produktif, malah proses dan prosedur membuka dan menjalankan perusahaan kilang di sana lebih mudah dan cepat jika dibandingkan di negeri kita. Para pengusaha kilang perlu melalui pelbagai proses prosedur untuk mendirikan dan memulakan operasi sesebuah kilang yang kadang-kadang memakan masa sehingga 2 tahun. Tempoh masa yang sangat panjang ini juga merupakan salah satu faktor yang membuatkan para pengusaha kilang lebih berminat untuk membuka dan memulakan perusahaan kilang mereka di luar negara.

Penggaram berharap kerajaan mengambil inisiatif menghapuskan red tape prosedur atau karenah birokrasi yang melambatkan proses sesebuah permohonan ini dan merangka satu kaedah baru di mana ia dapat memudahkan para pengusaha kilang untuk memulakan dan melibatkan diri dalam industri perkilangan dengan lebih cepat. Hal ini secara tidak langsung dapat memperkayakan Johor dengan kepelbagaian industri selain dapat melahirkan lebih ramai pengusaha-pengusaha kilang tempatan.

Penggaram maklum terdapat usaha dan langkah kerajaan dengan menjalankan permohonan secara fast track di Kulai tetapi Penggaram merasakan Batu Pahat dan Muar yang terkenal dengan industri textile dan perabot juga mengharapkan dan memerlukan usaha dan inisiatif sebegini.

Jika Johor dianaktirikan oleh kerajaan persekutuan, Penggaram berharap Batu Pahat tidak dianaktirikan pula oleh kerajaan negeri Johor. Bukan itu sahaja proses pemutihan kilang yang sedang dijalankan kini di beberapa kawasan PBT khasnya di Batu Pahat amat memberi kesan kepada pemain-pemain industri atau pengilang.

Penggaram faham bahawa proses pemutihan kilang ini adalah satu langkah yang baik untuk menstruktur semula pembangunan. Namun biarlah ia kena pada waktunya agar kerajaan tidak dilihat seperti mencekik mereka. Proses pemutihan bukan hanya melibatkan pemindahan peniaga ke lokasi lain tetapi ia melibatkan hal-hal seperti ubahsyarat tanah dan Kebenaran Merancang yang mengambil masa yang lama.

Selain itu kos yang perlu ditanggung seperti kos pemindahan operasi, kos-kos ubahsyarat tanah, kos melantik konsultan untuk Kebenaran Merancang, kos KMTT, permit bangunan sementara dan lain-lain amat membebankan mereka. Kekurangan premis-premis perindustrian juga menjadi satu kekangan buat mereka.

Penggaram ingin mengetahui bagaimana kerajaan negeri dapat membantu pengilang yang ingin mengubah syarat tanah atau mereka yang tiada pilihan kerana ia melibatkan zon kawasan dan syarat tanah yang tidak dibenarkan. Penggaram juga berpendapat bahawa ketika kita baru sahaja melepasi fasa peralihan pandemik ini ,proses pemutihan kilang-kilang sedia ada di negeri ini dapat dijalankan dengan tempoh yang lebih panjang.

Perkara ini sekurang-kurangnya dapat membantu kerancakan pergerakan ekonomi di negeri ini selain memberi ruang bernafas kepada para pengilang-pengilang tempatan untuk membentuk membangunkan semula perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Maju Berdaya Saing. Penggaram menyokong Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam merubah pelaksanaan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad. Penggaram berharap kerajaan juga menerima cadangan baik daripada ketua pembangkang bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalisme dan kuasa negeri sebagai jalan keluar kepada sebuah negeri yang berstatus anak tiri.

Speaker

Yang Berhormat tinggal 1 minit saja lagi.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Seiring dengan titah Tuanku, bergerak bersama sebagai Bangsa Johor di pihak kerajaan ataupun pembangkang perlu bekerjasama tanpa melihat perbezaan ideologi politik atau parti di dalam mendesak agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan semula jumlah peruntukan untuk negeri-negeri dengan sewajarnya.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar harus berani membuat perubahan dan kami di sini sentiasa mengalu-alukan iltizam negeri Johor berpotensi untuk menjadi lebih maju dan berjaya sekiranya bangsa Johor berani ke hadapan dan membuat perubahan yang penuh bersejarah. Sekian ucapan Penggaram, terima kasih. Daulat Tuanku.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Saya persilakan Yang Berhormat Tenang.

Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya baru 9 hari menjalani pembedahan, kalau terlebih masa sikit-sikit tu, tak mengapa ya, mohon izin.

Speaker

Tak boleh Yang Berhormat.

Terima kasih. Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi kesempatan mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan di Dewan yang mulia ini. Setelah patik menghayati dengan penuh keprihatinan titah ucapan Kebawah Duli Tuanku ternyata Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar amat peka dengan situasi di negeri Johor Darul Ta’zim.

Sebagai anak Johor patik berbangga mempunyai Sultan yang bukan sahaja berjiwa rakyat malah nalurinya sentiasa ingin melihat rakyat Baginda berada dalam situasi yang selesa dan selamat. Patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Selain itu izinkan patik mewakili rakyat di dalam DUN Tenang merafak sembah tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah dilantik selaku Pemangku Raja Johor.

Pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Datuk Ghazi yang telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 seterusnya tahniah kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baru. Ucapan tahniah juga kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi sebagai Speaker Dewan Negeri dan Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Tahniah juga kepada semua Ahli Dewan Negeri yang telah memenangi kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri baru-baru ini. Tidak lupa juga ucapan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Hj. Azmi bin Rohani yang dikurniakan darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan pagi ini saya mendapat tahu ada ADUN yang mengeluarkan kenyataan di akhbar bahawa ada ADUN BN sengaja mencari salah, waimah perkara yang kecil-kecil terhadap ADUN Pembangkang. Ini saya nak cakap, kesalahan kecil jika tidak ditegur akan menjadi besar dan akan berterusan sampai bila-bila, (Dewan bertepuk) sedangkan perkara tersebut termaktub di dalam peraturan dalam Dewan yang mulia ini. Ini adalah peraturan yang sangat mudah. Kalau tidak boleh nak diikuti bagaimana dengan segala peraturan yang lebih besar kelak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu jalan persekutuan yang perlu diberi perhatian adalah Jalan Yong Peng – Segamat minta maaf, Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor merupakan sebuah negeri yang unik bukan hanya kerana lokasi yang strategik sebaliknya dibuktikan melalui catatan sejarah sebagai negeri pertama yang mewujudkan Undang-Undang Tubuh Negeri sendiri pada tahun 1895, selain negeri pertama yang mempunyai pegawai tadbir negeri sendiri serta negeri pertama yang mempunyai sistem pendidikan sendiri menjadikan Johor sebuah negeri yang hebat.

Untuk terus kekal menjadi negeri yang hebat dan maju menjelang tahun 2030 seperti yang dihasratkan oleh pentadbiran kerajaan negeri, Johor mahu tidak mahu perlu hebat dari aspek ekonomi. Bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang kerajaan negeri perlu berusaha menarik kedatangan pelabur luar melabur di negeri Johor melalui pemberian insentif seperti pengecualian cukai duti serta menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti rangkaian jalan raya yang baik.

Usaha menaik taraf beberapa lebuh raya yang terdapat di negeri ini seperti Lebuh raya Utara Selatan dan Lebuh raya Senai – Desaru perlu disegerakan, selain rangkaian jalan-jalan persekutuan di seluruh negeri yang ketika ini berada dalam keadaan kurang sempurna.

Salah satu jalan persekutuan yang perlu diberi perhatian adalah Jalan Yong Peng – Segamat atau secara lebih spesifik laluan sepanjang 40 kilometer bermula dari Kampung Desa Temu Jodoh sehingga Kampung Kwangsai di daerah Segamat yang sepatutnya sudah dimulakan kerja-kerja menaik taraf selepas peruntukan sejumlah RM92.6 juta diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2017.

Oleh itu, saya menyarankan agar kerajaan negeri dapat mencari jalan agar projek tersebut dapat diteruskan pelaksanaannya memandangkan ianya sudah pun diluluskan, kerana projek tersebut bukan sahaja mampu memberi keselesaan dan menjamin keselamatan pengguna malah turut mampu merancakkan ekonomi daerah Segamat yang kelihatan sedikit terkebelakang berbanding daerah-daerah lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, harga rumah yang melambung tinggi ketika ini menjadi mimpi ngeri kepada orang muda serta golongan B40 dan M40. Impian mereka untuk memiliki rumah sendiri kelihatannya agak sukar dicapai dan salah satu pilihan yang ada bagi

mengatasinya adalah Rumah Mampu Milik Johor. Sasaran kerajaan negeri Johor untuk membina sejumlah 100,000 rumah mampu milik di Johor menjelang tahun 2023 menunjukkan bahawa kerajaan negeri sememangnya menyedari dan memahami kehendak rakyat untuk memilikki rumah sendiri. Dan saya yakin angka tersebut mampu membantu rakyat mencapai impian mereka.

Namun apa yang menggusarkan kita adalah Laporan Ketua Audit Negara 2018 bahawa sasaran tersebut sebenarnya gagal untuk dilaksanakan, malah kerajaan negeri Johor dikatakan memerlukan tempoh 51 tahun untuk mencapainya, berdasarkan purata sebanyak 1,960 unit rumah sahaja yang berjaya dibina dalam tempoh 5 tahun kebelakangan, dari tempoh laporan tersebut jika tiada sebarang penambahbaikan dilakukan dalam pengurusan perumahan rakyat Johor.

Pun begitu langkah kerajaan negeri Johor mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor dilihat mampu memberi nafas baharu kepada sistem pengurusan perumahan yang lebih cekap, telus serta berkesan di negeri ini. Saya dalam masa sama mencadangkan agar PKPJ menjalankan satu kajian menyeluruh berhubung keperluan golongan B40 dan M40 di negeri ini untuk memiliki rumah sendiri dan meletakkan sasaran baharu yang lebih realistik bukan sahaja untuk dicapai malah selari dengan keperluan semasa rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kita memperkatakan usaha menangani keperluan mendesak golongan muda dan golongan B40 serta M40 untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan, kita juga tidak boleh terlepas pandang terhadap jumlah kuarters kakitangan awam yang terbiar tidak dihuni di beberapa kawasan di negeri ini, khususnya di dalam kawasan Dewan Negeri Tenang.

Suka saya mencadangkan agar kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi membaik pulih unit-unit kediaman tersebut yang kebanyakannya mengalami kerosakan dan usaha tersebut dilihat sedikit sebanyak mampu memberi peluang kepada golongan muda terutama mereka yang baru mendirikan rumahtangga dan golongan B40 mendudukinya dengan kadar sewa yang berpatutan, bagi mengelakkan pembaziran serta mengatasi masalah perumahan golongan ini.

Selain itu kita juga mungkin tidak menyedari terdapat golongan muda miskin serta mereka yang sukar untuk mendapat pembiayaan bank untuk tujuan membeli rumah berikutan tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan. Saya difahamkan sememangnya terdapat usaha daripada kerajaan yang melibatkan Kementerian Kewangan untuk membantu golongan ini membeli rumah. Namun selain usaha kerajaan persekutuan itu adalah lebih baik sekiranya pihak kerajaan sendiri, sekiranya pihak kerajaan negeri mewujudkan lebih banyak projek perumahan rakyat berkonsepkan sewa beli di setiap daerah termasuk di kawasan bandar kecil bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah sendiri dengan kadar harga yang berpatutan tanpa perlu berdepan dengan karenah birokrasi bank.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh soal perumahan. Saya dalam masa yang sama berharap pihak kerajaan negeri dapat memberi perhatian yang serius terhadap usaha penyelesaian masalah hak milik di Rumah Awam Kos Rendah Labis yang sudah berlarutan lebih 20 tahun. Projek perumahan tersebut merupakan satu projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah oleh kerajaan negeri dengan sejumlah 367 unit rumah murah berharga RM20,000.00 yang mula dibina pada November 1987 dan siap pada September 1989. Antara isu yang timbul adalah seperti berikut, pemilik telah menjelaskan bayaran tetapi hak milik belum didaftarkan. Terdapat juga isu di mana pemilik belum menjelaskan bayaran tetapi hak milik telah didaftarkan atas nama pemohon awal yang telah diluluskan menyebabkan berlakunya pertindihan hak milik. Saya menerima aduan dari lebih 30 pembeli yang menduduki dan membayar pinjaman bank sejak membeli rumah tersebut dari kerajaan negeri Johor berdepan dengan masalah rumah tersebut sudah didaftarkan

atas nama individu lain yang kebanyakannya tidak mereka kenali. Selain itu terdapat juga isu lebih 80 pembeli yang telah melunaskan hutang bank sejak lebih 10 tahun lalu gagal mendapatkan dokumen hak milik kerana dokumen tersebut tidak berada di dalam simpanan pihak bank.

Isu lain yang turut membebankan pembeli adalah kelompok mereka yang gagal mendapat pinjaman pembiayaan pihak bank kerana tidak memenuhi syarat kelayakan dan seperti mana yang dipersetujui oleh pihak SUK Perumahan. Mereka dibenarkan membuat bayaran secara ansurans secara terus kepada pihak SUK Perumahan namun masalah timbul apabila SUK Perumahan mendesak mereka untuk membuat pembayaran baki secara sekali gus baru-baru ini. Di mana rata-rata mereka tidak berkemampuan untuk berbuat demikian. Apa yang lebih menghairankan, walaupun mereka tidak mendapatkan pinjaman dari mana-mana bank, tetapi rekod menunjukkan terdapat gadaian rumah mereka kepada pihak BBMB ketika ini. Saya berharap isu ini mendapat perhatian daripada pihak berkaitan dan usaha menyelesaikannya dapat digerakkan dengan segera kerana pembeli begitu terkesan dengan pelbagai masalah tersebut terutama bagi mereka yang menghadapi pertindihan hak milik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui tinjauan yang saya lakukan di kawasan perumahan terbabit, terdapat sejumpah 48 unit kediaman yang masih kosong dan mulai rosak. Saya difahamkan kesemua unit kediaman tersebut sudah pun didaftarkan hak milik namun penama tidak berminat untuk mendudukinya dan tidak membuat bayaran kepada pihak kerajaan menyebabkan ianya gagal untuk dijual kepada mereka yang berminat kerana usaha melupuskan hak milik yang telah didaftar tidak dapat dilakukan. Oleh yang demikian, memandangkan terdapat keperluan yang tinggi di kalangan rakyat untuk memiliki rumah sendiri terutama bagi golongan muda berpendapatan rendah, saya menggesa kerajaan negeri bertindak melucut hak milik yang telah didaftar dan membaiki rumah-rumah tersebut seterusnya menawarkan kepada mereka yang memerlukan terutama kepada penyewa sedia ada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kedudukan Tenang yang bersempadan dengan kawasan hutan simpan memberi kelebihan kerana mempunyai tarikan alam semulajadi iaitu terdapat banyak kawasan menarik seperti Air Terjun Takah Melur yang berpotensi diijadikan daya tarikan pelancong. Sehubungan itu, saya berharap pihak kerajaan negeri melalui agensi berkaitan dapat melihat potensi pelancongan yang terdapat di kawasan tersebut dan menyalurkan peruntukan pembangunan serta bantuan dari segi promosi untuk menjadikan Labis khususnya Tenang sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Johor.

Dalam masa yang sama terdapat pelbagai aktiviti pembuatan kraftangan di tempat kami seperti anyaman rotan, kayu hanyut, gasing dan perusahaan kraf kayu serta menempa besi untuk dibuat senjata, pisau dan parang. Semua ini turut berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu daya tarikan pelancong luar untuk berkunjung ke Labis sekiranya kesemua usaha ini dapat ditempatkan di satu kawasan khas kerana ketika ini semua pengusaha tersebut menjalankan aktiviti mereka secara kecil-kecilan di rumah. Untuk itu, saya berharap dapat dibangunkan satu pusat kraf di kawasan Labis bagi mengumpulkan kesemua pengusaha untuk menjalankan aktiviti mereka bagi tujuan bukan sahaja memudahkan urusan pemasaran serta promosi malah memudahkan pengunjung luar untuk melihat dengan lebih dekat kehalusan seni kraftangan warisan bangsa kita tanpa perlu melewati banyak tempat untuk tujuan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain tanaman komoditi getah dan kelapa sawit, Labis turut terkenal dengan dusun buah-buahan tradisional dan yang paling unik sekali ialah buah mata kucing atau buah bidara, itu panggilan orang Tenang ya, yang boleh dikatakan hanya terdapat di kawasan Tenang sahaja ketika ini. Rasanya sedap, manis, tidak sedar habis sebakul. Namun sayangnya mata kucing yang pernah menjadi trade mark kepada Labis dan Tenang ini serta sumber ekonomi penduduk setempat kian malap dan boleh diibaratkan

hampir pupus ketika ini disebabkan tiada usaha yang serius membangunkan tanaman tersebut secara komersial. Lebih malang lagi generasi hari ini hanya mengenali mata kucing yang diimport dari Thailand berbanding mata kucing tempatan yang lebih baik kualitinya, yang lebih, yang jauh lebih baik kualitinya.

Antara cabaran yang dihadapi oleh pemilik dusun untuk mengembangkan tanaman mata kucing ini adalah fizikal pokoknya yang besar dan tinggi di mana golongan muda tidak lagi berminat atau berkemampuan untuk memanjatnya bagi tujuan mengutip hasil, selain ancaman musuh tanaman seperti kelawar dan burung liar. Saya percaya tanaman ini mempunyai potensi untuk dijadikan sumber ekonomi penduduk selain sebagai tarikan pelancong memandangkan buah mata kucing ini pernah melalui zaman kegemilangan sehingga mampu dipasarkan keluar negara khususnya negara jiran Singapura pada era tahun 1970-an. Saya berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan MARDI dapat menjalankan satu usaha membuat kajian bagi menghasilkan klon mata kucing dengan pokok yang lebih rendah serta kaedah menangani masalah ancaman musuh bagi mengembalikan zaman kegemilangan buah mata kucing atau buah bidara di Tenang.

Sebagai permulaan, pihak terbabit boleh mewujudkan satu kawasan atau plot tanaman untuk tujuan kajian dan pembangunan di kawasan yang sesuai. Dan dalam masa yang sama usaha tersebut mungkin dapat memulihkan semangat pemilik dusun untuk menanam semula tanaman tersebut sebagai pilihan sumber ekonomi mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata Tenang mengharapkan semua perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian dan tindakan dari pihak yang bertanggungjawab demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Tenang juga mendoakan agar kepimpinan kerajaan negeri di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar ini lebih mantap dan mendahulukan rakyat seperti mana yang dapat kita lihat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Semoga negeri Johor terus maju dan makmur di bawah naungan Duli Tuanku dan kepimpinan kerajaan hari ini.

Sebagai Ahli Dewan Negeri yang baharu, saya berdoa agar amanah dan mandat yang diberikan kepada kita oleh rakyat akan disempurnakan dengan ikhlas dan bertanggungjawab. Saya yakin bahawa kerajaan yang saya wakili adalah sebenar-benarnya kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat dan untuk negara (Dewan bertepuk). Serangkap pantun sebelum saya mengakhiri, dinaung oleh raja yang mulia, kepada semua yang ingin berbakti, nama pun tidak boleh dikecewa, masyhurlah nama sampai ke mati.

Sekian Tenang mohon menyokong. Segalanya Tenang. Terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tenang. Saya jemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berbahas di Dewan yang mulia ini. Patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta barisan EXCOnya dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang diberi amanah berkhidmat untuk rakyat.

Senai ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah atas pencapaian yang telah dicapai oleh barisan EXCO dalam 100 hari menjalankan tugas. Antaranya Senai ingin memberi perhatian terhadap dua isu yang diselesaikan seperti disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 19 Jun 2022 dalam Dewan yang mulia ini.

Pertama, Bantuan Beras Bangsa Johor telah dipertingkatkan daripada 903,000, minta maaf, ketua isi rumah kepada 1.6 juta ketua isi rumah. Kerajaan Johor telah memperuntuk sebanyak RM23.67 juta untuk program ini. Berikutan tambahan penerimaan beras kepada ketua isi rumah sebanyak 697,000 keluarga. Soalan saya berapa peruntukan akan ditambah lagi. Senai juga ingin mohon pencerahan tentang punca penambahan ini, adakah ia disebabkan maklumat ketua isi rumah yang diperolehi pada mulanya tidak lengkap dan tidak dikemaskini ataupun berpunca daripada keluarga-keluarga yang menerima beras berulang kali kerana kelemahan sistem pengagihan. Memandangkan bantu beras Bantu Johor adalah program yang memanfaatkan seluruh Bangsa Johor, Senai ingin membuat cadangan supaya kajian soal selidik di kalangan penerima perlu dilaksanakan. Ini berikutan maklum balas dan cadangan daripada para penerima amat perlu bagi menambah baik program bantuan seterusnya yang akan dirancang dalam lima tahun ini.

Kedua, isu lampu isyarat pejalan kaki di Taman Senai Jaya. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memberi perhatian terhadap isu tempatan ini dan mempercepatkan kerja baik pulih lampu isyarat setelah lama Yang Amat Berhormat dan pihak berkuasa dimaklumkan atau tag dalam media sosial. Padahalnya sebelum ini Senai juga telah mengajukan aduan penduduk tentang persimpangan ini yang kerap berlaku kemalangan berpunca daripada lampu isyarat itu berada di lokasi yang tidak sesuai serta aliran trafik yang tinggi dan pokok tidak diselenggara. Aduan melalui surat rasmi telah diberikan kepada pihak berkuasa berkaitan pada bulan April yang lepas. Senai juga mendapat bantuan Majlis Perbandaran Kulai untuk mencantas pokok-pokok di situ pada bulan Mei. Sebelum ini, semasa rakyat menghadapi masalah jika maklum atau tag pihak berkuasa dalam media sosial akan dilihat sebagai saluran yang tidak rasmi dan kurang hormat. Akhirnya aduan sentiasa terlepas pandang. Kini, keadaan telah berubah. Ramai orang tag nama Yang Amat Berhormat supaya masalah mereka dinampak.

Senai berpendapat jika aduan rakyat di peringkat tempatan memerlukan Yang Amat Berhormat atau EXCO-EXCO atau pegawai tinggi yang bersuara barulah dapat memastikan kerja siap dengan cepat dan baik. Ini telah membuktikan sistem mengendali aduan rakyat kita telah gagal. Justeru itu, Senai mencadangkan satu sistem mengendali aduan secara aplikasi mudah alih atau apps dapat dibangunkan pada masa akan datang, di mana membolehkan rakyat membuat pelbagai aduan berkaitan setiap agensi kerajaan negeri dengan lebih mudah dan cepat. Dengan ini, tindakan yang diambil juga dapat dipantau secara sistematik dan berkesan. Pada masa yang sama ia dapat meringankan beban kerja Yang Amat Berhormat dan EXCO-EXCO supaya dapat lebih fokus dalam urusan peringkat negeri ataupun negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin membawa isu-isu kawasan yang timbul di kawasan Senai. Pertama, kesesakan lalu lintas di Senai dan Kulai. Kesesakan lalu lintas di Senai dan Kulai semakin serius selepas pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial. Aliran trafik di jalan persekutuan FT01 Kulai dan Lebuh raya Utara Selatan dari Tol Senai sehingga Tol Sedenak menjadi sesak. Cadangan projek Jalan Pintasan Senai-Kulai ataupun Senai – Kulai bypass dengan izin, telah dirancang oleh Jabatan Kerja Raya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) sejak tahun 2006. Yang amat mengecewakan, rancangan ini asyik tertangguh dari RMK-10 hingga RMK-12 dan kini masih belum ada tarikh perlaksanaan lagi. Memandangkan Senai terletak di flagship E, Wilayah Iskandar Malaysia dan susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut mengumumkan Sedenak sebagai flagship keenam, Iskandar Malaysia pada tahun 2021 iaitu tahun lepas. Pembangunan infrastruktur seperti jalan utama di daerah Kulai perlu mendapat lebih banyak tumpuan daripada kerajaan pusat begitu juga kerajaan negeri. Sejajar dengan Pelan Pembangunan Iskandar Malaysia, daerah Kulai tidak terkecuali turut melalui proses transformasi pembangunan yang begitu pesat sejak 15 tahun yang lalu. Dan kini populasi Kulai telah mencecah 300,000 orang. Oleh demikian, projek jalan pintasan Senai-Kulai tidak

boleh ditangguhkan lagi dan perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin. Ini kerana dengan perlaksanaan projek tersebut, Senai sangat berkeyakinan akibat pelaburan dan perdagangan di Iskandar Malaysia untuk flagship Senai – Skudai dan flagship Sedenak sekali gus turut membawa lonjakan ekonomi kepada negeri Johor.

Bukan itu sahaja, kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lebuh raya Utara sehingga Selatan dari Tol Senai sehingga Kulai juga akan dikurangkan dan memberi manfaat kepada semua pengguna jalan raya. Justeru itu, Senai amat berharap Projek Pintasan Senai – Kulai dapat dimasukkan dalam senarai perancangan perlaksanaan di bawah RMK-12 Rolling Plan Ke-3.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah kesesakan lalu lintas di persimpangan bertingkat Bandar Putra sampai Indahpura juga semakin kritikal. Keadaan ini disebabkan Indahpura dan Bandar Putra mempunyai populasi penduduk yang paling ramai di Kulai. Bagaimanapun, persimpangan bertingkat tersebut masih tidak dinaik taraf selari dengan pembangunan. Kesesakan juga mengakibatkan akses ke Hospital Kulai yang berada hanya bersebelahan dengan persimpangan bertingkat tersebut terhalang. Pada waktu puncak, when ambulans kelihatan sukar melalui kawasan itu dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan pesakit lambat menerima rawatan dan boleh mengancam nyawa mereka.

Kedua, menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam di Senai dan Kulai. Memandangkan masalah kesesakan lalu lintas di Kulai menjadi semakin serius, jadi bagaimana kita dapat menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dengan kadar segera adalah amat kritikal.

Senai mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana telah merancang perkhidmatan MyBus menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SPST) di Johor termasuklah daerah Kulai. Walaupun perkhidmatan MyBus telah bermula di Johor Bahru pada Mac yang lepas tetapi Senai dimaklumkan untuk laluan Kulai ke Johor Bahru hanya akan bermula pada September depan. Senai amat berharap perkhidmatan ini dapat diawalkan untuk menyelesaikan masalah kekurangan bas pada waktu malam di daerah Kulai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai mencadangkan agar perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) yang sedia ada dapat dikaji semula secara berkala supaya perkhidmatan yang dibayar oleh kerajaan ini benar-benar memenuhi keperluan rakyat. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2019, kerajaan negeri dan PBT memperuntukkan sejumlah RM100.48 juta bagi pengurusan perkhidmatan BMJ bagi tempoh tahun 2016 hingga 2019. Namun pencapaian bilangan penumpang BMJ berbanding kapasiti maksimum tempat duduk kurang memberangsangkan dan menunjukkan penurunan ketara daripada 63.2% pada 2016 kepada 23.2% pada 2019. 5 syor Audit dikemukakan kepada Pejabat Menteri Besar dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) untuk menambah baik perkhidmatan BMJ. Saya amat mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh YB EXCO Yong Peng yang menaiki BMJ sendiri dan juga menggalakkan orang awam menaiki BMJ khasnya untuk mereka yang pergi Hospital Sultanah Aminah. Tapi, pada pandangan saya, selain daripada mempromosikan perkhidmatan ini, yang terpenting adalah kita dapat memahami punca bilangan penumpang merosot dan menambahbaikkan kelemahan BMJ dengan melaksanakan 5 syor Ketua Audit Negara secara komprehensif.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas sampai Johor Bahru yang dijangka siap pada tahun depan sudah pasti akan menambah jumlah penumpang yang menaiki kereta api dan pengangkutan awam lain. Oleh demikian, perkhidmatan kereta api perlu dihubungkan dengan perhidmatan bas e-Hailing, bahkan perkhidmatan sewa basikal seperti link-bike di Pulau Pinang. Fasiliti seperti jejantas, laluan pejalan kaki, tempat parking yang mencukupi, perhentian bas dan sebagainya perlu disediakan sekali gus dan dirancang dengan baik bermula dari sekarang. Hanya jaringan

pengangkutan awam yang lengkap, barulah akan menjadi alternatif pilihan semua lapisan rakyat.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertitah bahawa setiap Majlis hendaklah menyediakan laluan pejalan kaki yang sempurna di kawasan bandar dan laluan basikal di kawasan pinggir bandar untuk tujuan rekreasi. Senai amat bersetuju. Kita boleh mengambil contoh berjaya seperti link-bike di Pulau Pinang, satu inisiatif yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang sejak tahun 2016. Laluan basikal yang selamat, stesen basikal layan diri yang mudah pakai, harga sewa yang murah, sistem perkongsian basikal yang sempurna sudah pastinya ini adalah kaedah pengangkutan yang lebih mudah, hijau dan unik. Cadangan Senai, kita boleh laksanakan ini di bandar raya Johor Bahru ataupun di Puteri Harbour untuk menarik pelancong-pelancong.

Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Kulai kerana telah menyediakan lorong basikal di kawasan Senai sejak tahun 2019. Ini salah satu inisiatif yang juga cukup membanggakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir yang kerap berlaku di kawasan Kulai dan Senai. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas inisiatif untuk menubuhkan Pasukan Khas Pengawasan Banjir Kilat oleh MPKu, Majlis Perbandaran Kulai baru-baru ini setelah Kulai mengalami beberapa kali banjir kilat yang serius sejak bulan Mac hingga sekarang. Langkah ini selaras dengan cadangan Ahli Parlimen Kulai yang dimajukan kepada MPKu dan semua agensi berkaitan pada 27 September 2021 iaitu minta MPKu menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang melibatkan agensi berkaitan bagi memantau kerja tanah dan mencari penyelesaian banjir yang kerap berlaku di Kulai. Ini telah membuktikan bahawa walaupun kami selaku parti bukan kerajaan, tapi cadangan yang diberikan juga dapat memanfaatkan rakyat jika dilaksanakan oleh kerajaan.

Walau bagaimanapun, Senai berasa amat berasa kecewa kerana permintaan kepada Pejabat Daerah Kulai untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincang isu banjir yang ditetapkan pada 23 Mei tahun 2022 telah ditangguhkan di saat terakhir tanpa diberikan sebab yang munasabah. Sampai sekarang tarikh mesyuarat baru belum diberitahu lagi.

Sebagai Wakil Rakyat, kita perlu mempunyai saluran secara rasmi untuk menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan. Dalam titah DiRaja di Dewan Negeri Johor, Duli Yang Maha Mulia Tuanku mahu kerajaan negeri bergerak tanpa kepentingan politik. Oleh demikian, dengan rendah hati saya berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri harus dibenarkan untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah di kawasan masing-masing tanpa mengira dari kerajaan atau bukan kerajaan.

Selain itu, lawatan tapak ke kawasan banjir atau bencana lain yang dijalankan oleh Pejabat Daerah ataupun Pihak Berkuasa Tempatan juga harus melibatkan Wakil Rakyat di kawasan masing-masing supaya suara dan isu rakyat dapat didengar dan diambil tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Yang ada satu point yang saya nak tambah di sini, memang kita difahamkan keperluan perkhidmatan Internet jalur gentian optik amat mendesak bagi semua lapisan masyarakat. Begitu...

Speaker

Yang Berhormat 1 minit sahaja lagi.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Ok terima kasih. Jadi saya berharap kawasan Senai dan Kulai juga akan dipercepatkan untuk meluaskan liputan jalur gentian optik. Jadi ada satu masalah yang dibawa oleh rakan media, saya dimaklumkan bilik media di Dewan Undangan

Negeri ini pun menghadapi masalah Unifi, jadi amat menganggu urusan mereka. Saya minta menambah baik perkhidmatan ini.

Akhir kata selaku orang baru di Dewan yang mulia ini, Senai ingin memohon maaf atas kekurangan dan kelemahan yang ada. Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin memohon Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan mohon menyokong. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Senai. Saya persilakan Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Selamat sejahtera, Yang Berhormat Datuk Speaker. Tangkak mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada Tangkak untuk menyertai dalam Perbahasan Rundingan Menjunjung Kasih Titah DiRaja bagi Persidangan kali ini. Terlebih dahulu Tangkak mewakili penduduk-penduduk atau pengundi dari Tangkak merafak sembah setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor kerana sudi berangkat ke Dewan Negeri Johor pada 16 Jun 2022 bagi merasmikan Dewan Persidangan Negeri Johor bagi Penggal Mesyuarat Pertama Yang Ke-15 ini.

Tangkak ingin juga mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas lantikan sebagai Pemangku Raja Johor. Tahniah ini tidak dilupa kepada Yang Berhormat Rengit dan juga Yang Berhormat Semarang atas lantikan sebagai Speaker Dewan Negeri Johor dan juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor dan juga tidak dilupa tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Johor atas anugerah Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang bergelaran Tan Sri, tahniah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak rasa pada satu minggu yang lalu ini topik yang hangat salah satu topik hangat dalam negeri Johor adalah berkenaan dengan cuti hujung minggu di negeri Johor. Setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan untuk mengkaji semula penukaran cuti hujung minggu dari hari Jumaat, hari Sabtu kepada hari Sabtu dan hari Ahad pada minggu lepas.

Sebenarnya penukaran cuti hujung minggu ini telah mula dilaksanakan pada 1 Januari tahun 2014. Setelah dekat 8 tahun memang Tangkak sangat menghargai cadangan daripada kerajaan atau Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas kajian tersebut. Tapi untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebenarnya pada tahun awal tahun 2016 telah pun ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat kajian selidik di negeri Johor dan antara 30,000 sampel ataupun responden yang telah dibuat kajian selidik menunjukkan sebanyak 95.7% responden menyokong supaya cuti hujung minggu negeri Johor ditukar balik kepada hari Sabtu dan hari Ahad.

Itu pada awal tahun 2016 dan laporan kajian selidik tersebut pada ketika itu telah pun dihantar, dibentang kepada Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika itu. Dan pada sekarang ada sebuah laman sesawang yang membuat petisyen, terdapat sebuah petisyen daripada Bangsa Johor telah menunjukkan setakat pukul 9.00 pagi hari ini seramai 54,723 orang telah menandatangani petisyen sokong untuk penukaran cuti hujung minggu ini.

Jadi ini adalah untuk makluman kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar ataupun kerajaan ataupun kepada pemerintah hari ini, keadaan sebenarnya di luar sana. Tetapi akhirnya hak untuk penukaran cuti hujung minggu negeri Johor ini masih di atas tangan pemerintah.

Jadi Tangkak berharap kajian selidik ataupun kajian-kajian yang akan dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan jugak kerajaan negeri Johor ini dapat dijalan dengan lancar dan akhirnya boleh dapat satu keputusan dan juga diharapkan sebagai kerajaan yang berketelusan laporan tersebut dapat diumumkan selepas dapat hasilnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak hari Ahad yang lalu sehingga semalam Tangkak nampak ramai ADUN-ADUN veteran telah banyak kali kami kata, apa tu mengguna peraturan mesyuarat untuk menyatakan ataupun menegur ADUN-ADUN yang sedang berucap. Ini tak salah pada Tangkak, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap ataupun kita panggil Peraturan Mesyuarat ini memang ada kuasanya, memang ada kuasanya.

Sekiranya terdapat ADUN yang melanggar peraturan mesyuarat, tidak salah bagi sesiapa pun Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menegur menggunakan peraturan mesyuarat ini. Apa yang Tangkak ingin bangkitkan adalah Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap ini sejak kali pertama Tangkak menerima buku ini pada tahun 2013 sehingga hari ini saya rasa tidak pun sekali kita pernah mengkaji atau membuat pindaan yang memerlukan.

Tapi pada hujung Penggal Persidangan Dewan Negeri Johor pada tahun 2021 bulan November, bulan Disember, kerajaan ketika itu telah membentangkan 3 Kertas Mesyuarat atau 3 Rundingan supaya Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor ini dipinda. Antaranya meletakkan 3 Jawatankuasa Pilihan di bawah Bilangan Peraturan Mesyuarat 110 iaitu menjadikan Jawatankuasa Peraturan dan Perintah Tetap sebagai 110(A).

Kedua, meletakkan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Sebagai Bilangan Peraturan Mesyuarat Bilangan (110)(B). Ketiga meletakkan Jawatankuasa Ketelusan Johor sebagai Bilangan 110(C) dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar ketika itu juga dalam Ucapan Bajet tahun 2022 itu mencadangkan peruntukan tetap RM200,000.00 untuk penggunaan kawasan dan juga peruntukan RM50,000.00 bagi program-program sempena perayaan untuk setiap ADUN Dewan Negeri Johor itu ditulis ataupun dinyata secara bertulis dalam Perintah-Perintah dan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor.

Malangnya ketika itu kita tak sempat untuk membahas dan meluluskan pindaan ini, Dewan Penggal Yang Ke-14 telah dibubarkan. Tetapi Tangkak berasa sangat bersyukur kerana walaupun negeri Johor telah menubuhkan satu kerajaan baru kita dapat bukan sahaja Ahli-Ahli EXCO yang baru juga seorang Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang baru.

Walaupun baru tapi Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 beliau adalah salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Jadi saya faham dan saya percaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari ini memang akan meneruskan sokongan beliau sebagaimana ketika beliau duduk dalam Mesyuarat Kerajaan (MMK) iaitu menyokong untuk bentang sekali lagi usul-usul atau rundingan-rundingan yang Tangkak sebut tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada juga ADUN yang berbahas atau membincang mengenai adakah kita perlu membuat pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat Bilangan ke 45 (ii) iaitu supaya membolehkan Ahli-Ahli Dewan yang berucap disampuk jika diizinkan. Sebenarnya kalau ADUN-ADUN veteran yang ada di sini atau ADUN-ADUN yang ada di Persidangan pada Penggal ke-14, cadangan itu juga telah pernah dibentangkan ke atas meja kita.

Jadi apa yang ingin Tangkak cadangkan adalah untuk maklumat juga kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor, Johor ada sebuah gelanggang untuk pemuda atau remaja di negeri Johor dipanggilkan Dewan Muda Johor.

Yang penaung dia Yang Berhormat Benut mantan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga penasihat dia adalah Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita pada hari ini dan juga YB Panti, YB Parit Raja sebagai Timbalan Speaker, maaf, sebagai Timbalan Yang DiPertua kepada Dewan Muda Johor. Dan saya rasa mereka lebih faham bahawa dalam Persidangan Dewan Muda Johor itu DMJ kita dibenarkan untuk mencelah sewaktu salah seorang DMJ itu membahas atau berucap.

Jadi saya mohon Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga Pejabat Speaker, Pejabat Jurutulis supaya menimbang semula supaya Peraturan Mesyuarat Bilangan 45(ii) ini dapat dipinda dan Tangkak rasa tak perlulah kita bimbang Dewan ini akan kecoh akan jadi yang tidak diingini kerana saya percaya, Tangkak percaya dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Datuk Speaker dalam mempengerusikan Persidangan ini tidak akan berlaku keadaan sebegitu dan juga kita boleh nampak sekiranya walaupun tidak boleh mencelah berlakulah ADUN-ADUN yang sengaja menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk mengacau ucapan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menurut Laporan Ketua Audit Negara, Penyataan Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Jabatan atau Agensi Negeri Johor Tahun 2020 oleh Jabatan Audit Negara Malaysia telah menunjukkan yang Tangkak tertarik oleh satu isu yang telah dicatat dalam Laporan Ketua Audit ini iaitu pinjaman yang boleh tuntut oleh kerajaan Johor bagi Syarikat Air Johor (SAJ).

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Yang Berhormat-Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, setakat hujung tahun 2020, sejumlah RM145.12 juta tunggakan bayaran balik pinjaman yang boleh dituntut oleh SAJ kepada kerajaan negeri Johor. Apa yang Tangkak ingin bangkit adalah sebenarnya kerajaan Johor pada tahun 2020 telah menghapus kira pinjaman SAJ berjumlah RM189.39 juta bagi tujuan melaksanakan Projek Bekalan Air Johor di kawasan luar bandar. Tapi masalahnya begitu, bilakah tunggakan ini akan dijelas? Menurut laporan ini, SAJ cuma akan menjelaskan pinjaman tersebut sekiranya syarikat berjaya mencapai sasaran kutipan hasil yang ditetapkan. Jadi soalan daripada Tangkak adalah minta kalau boleh EXCO boleh bagi jawapan dalam sesi penggulungan. Apakah sasaran kutipan hasil yang ditetapkan oleh SAJ? Berapa besar jumlahnya? Sampai bila kerajaan Johor dapat mengutip balik tunggakan tersebut?

Selain itu, apabila kita berbincang tentang SAJ, saya rasa gangguan bekalan air yang tidak terancang berlaku di merata tempat seluruh negeri Johor setiap hari. Pagi tadi pun, Tangkak berlaku gangguan bekalan tetapi itu kita boleh faham tidak terancang tetapi kerana berlaku kemalangan jalan raya. Valve SAJ tepi longkang telah dilanggar. Tetapi, kebanyakan aduan gangguan bekalan air itu selain daripada gangguan bekalan yang berjadual untuk kerja-kerja pembaikan, selain daripada berlaku kemalangan jalan raya, kebanyakan juga disebabkan paip bocor, paip air bawah tanah, bawah jalan raya bocor dan keadaan itu bukan sekali skala, tetapi Tangkak boleh kata selalu. Dan kebanyakan berlaku di dalam satu kawasan paip air yang sama selepas air ditutup untuk kerja-kerja membaiki, selepas air dibuka balik, tempat sebelah pula yang bocor dan perlu tutup air lagi. Dan mengikut maklumat yang didapati kebanyakan paip air di Johor ini terutama paip jenis asbestos cement (AC) sepanjang 5,500 kilometer ini telah berusia lebih daripada 20 tahun. Memang SAJ akan kata perlu memakan, mengguna kos yang sangat-sangat tinggi untuk mengganti ke semua paip-paip ini. Tetapi, Tangkak ingin tahu sebelum ini kerajaan negeri Johor telah banyak kali mengumum bahawa dalam usaha mengganti paip-paip air lama ini. Jadi, Tangkak ingin tahu pencapaian sehingga ke hari ini antara 5,500 kilometer paip lama ini, setakat ini berapa kilometer bakinya? Yang Berhormat Datuk Speaker...

Speaker

Yang Berhormat tinggal satu minit.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Baik. Dalam hujung ucapan saya Tangkak ingin bawa sedikit isu tentang dalam kawasan iaitu fasiliti kesihatan di DUN Tangkak ataupun di daerah Tangkak. Kita tahu Tangkak diambil sebagai satu daerah baharu tetapi sehingga hari ini Hospital Tangkak ini saya kata dia keadaan dia namanya hospital, keadaannya lebih kepada klinik kesihatan yang besar, sebab dia tak ada doktor pakar sepenuh masa. Dia ada Bahagian Kecemasan tetapi kalau ada pesakit yang serius dihantar masuk, dia perlu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar yang jauh dia lebih daripada 30 kilometer. Jadi, Tangkak ingin mohonlah Jabatan Kesihatan Negeri Johor walaupun tahu ini bawah kuasa federal tetapi Tangkak mohon bantuan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor sama-sama kita mendesak kerajaan persekutuan, mendesak Kementerian Kesihatan supaya menaik taraf. Saya rasa hari ini dalam Dewan ini bukan sahaja Tangkak bangkit isu ini, ini berkaitan juga dengan YB EXCO kita dari Serom dengan rakan saya dari Gambir. Kita tahu dari Serom, dari Gambir pergi ke Muar pun 30 kilometer.

Speaker

Yang Berhormat masa tamat.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Jadi mohonlah Jabatan Kesihatan Negeri supaya membantu dalam menyelesainya. Sekurang-kurangnya ada doktor pakar sepenuh masa untuk standby bagi kes-kes kecemasan. Akhirnya, terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan harap Yang Berhormat Datuk Speaker dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan Tangkak terutama bagi Peraturan-Peraturan Mesyuarat yang dibangkit tadi. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Sebelum saya jemput Yang Berhormat Pulai Sebatang, saya nak tanya kalau 10 minit boleh habis tak? Boleh, boleh?

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Tak boleh Yang Berhormat.

Speaker

Oh tak boleh.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Tak boleh Yang Berhormat Speaker, tak cukup 10 minit.

Speaker

Ok, saya bagi 10 minit ,kita sambung 10 minit untuk sesi petang nanti.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Boleh Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Silakan.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Bismillahirrahmanirrahim (berselawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya saya ini doa daripada hari yang lepas janganlah ada yang jawab teka-teki Datuk Yang Berhormat Datuk Speaker berkenaan dengan burung belibis, tapi nampaknya Pemanis dah jawab dulu, cuma masa itu masih tidak diguna pakai. Jadi saya minta ihsan oleh kerana kena sambung nanti petang lima minit yang tidak digunapakai dan belum ada siapa yang belum minta, saya tahu jawapan itu burung belibis, jadi harap diberilah ihsan kepada saya lima minit itu diberi...

Speaker

Tak boleh Yang Berhormat.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian kali yang pertama sebagai ucapan sulung saya di Dewan yang mulia

ini bagi mewakili suara Pulai Sebatang dalam sesi perbahasan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 ini. Pulai Sebatang menjunjung kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan yang mulia ini. Saya juga ingin merafak sembah ucapan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja Johor bermula pada Khamis lepas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak balas sikitlah berkenaan dengan apa yang disebutkan oleh rakan daripada pembangkang tadi. Sebenarnya tidak timbul isu nak perlu kaji semula Peraturan Dewan dan sebagainya, sebenarnya tidak timbul isu nak mengatakan bahawa ADUN daripada Barisan Nasional ini low standard sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang. Bukan Dewan ini tempatnya untuk kita berbahas atau...

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ketua Pembangkang tidak sebut itu.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

... dalam kenyataan di luar ya...

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Tak ada, Ketua Pembangkang tidak ada ...

Speaker

Yang Berhormat.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat Perling ...

Speaker

Yang Berhormat, sila duduk Perling. Perling tak menyebut perkara tersebut ya, saya minta tarik baliklah. Nanti kita boleh semak hansard kita sebenarnya yang disebut oleh apa ni, oleh YB lain.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan perkara tadi itu, saya rasa bukan ini tempatnya. Untuk kita berbalas-balas bahas kerana kita ada cara kita, kita ada cara dan adab kita mungkin boleh kita buat secara bertulis dan saya yakin EXCO-EXCO di kalangan yang muda ini akan menjawab dengan lebih jelas lagi tentang isu-isu yang ingin ditanyakan oleh rakan-rakan ADUN. Kita ini menegur maknanya tandanya kita ini sayang, sayang pada Dewan yang mulia ini. Jadi, sebenarnya kita belajar daripada pengalaman orang lama, kita ini juga kadang-kadang belajar dari teguran.

Jadi, seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan perbahasan, izinkan saya mengimbas kembali gerak kerja ketika Pilihan Raya Negeri yang lepas. Antara panduan utama gerak kerja pilihan raya yang lalu, saya dan rakan-rakan daripada Barisan Nasional berpegang dan berpandukan kepada lima ikhtiar Barisan Nasional Johor dan Alhamdulillah berkat usaha, ikhtiar dan doa, kami telah diizinkan Allah menang dengan jumlah kerusi yang besar. Dengan kemenangan yang penuh bermakna itu, maka terbentuklah kerajaan Johor kembali semula kepada kerajaan yang jelas akan hala tuju serta perjuangannya. Sepanjang penelitian saya, walau bertukar tampuk pimpinan serta bertukarnya keseluruhan barisan EXCO kerajaan negeri kepada orang baharu, kepada orang muda, kesinambungan bagi melaksanakan lima ikhtiar Barisan Nasional ini tetap menjadi agenda utama untuk dilaksanakan. Ini membuktikan bahawa kerajaan Johor sekarang ini yang dibarisi oleh pemimpin Barisan Nasional adalah pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar, sentiasa mendahulukan rakyat dan menjadikan rakyat sebagai agenda utama parti. (Dewan bertepuk).

Awal-awal lagi kami ini semua tahu daripada rakan-rakan Barisan Nasional bahawa lima ikhtiar Barisan Nasional itu bukanlah kitab suci, ianya juga bukan kitab yang memberikan janji-janji manis yang retorik untuk memperdayakan rakyat (Dewan bertepuk). Lima ikhtiar Barisan Nasional adalah hasil daripada pengalaman-pengalaman yang ada, hasil daripada pandangan semua peringkat yang telah diteliti, dibincangkan secara terperinci serta diperhalusi dengan penuh muafakat demi kestabilan negeri Johor agar lebih makmur dan maju. Buat rakan-rakan Yang Berhormat, sama-samalah kita pikul amanah dan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin dan bersama bersatu hati demi Bangsa Johor dan negeri Johor yang kita cintai ini. Oleh yang demikian, sebagaimana Yang Berhormat Sri Medan, saya juga ingin mencadangkan supaya ikhtiar Barisan Nasional Johor ini akan menjadi dasar utama kepada kerajaan negeri di dalam Belanjawan Johor 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya untuk masa yang berbaki ini izinkan saya membawa hal ehwal berkaitan dengan Pulai Sebatang dan sedikit sebanyak merangkumi keperluan dan permasalahan yang berlaku di dalam daerah Pontian. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong penuh titah Tuanku Sultan Johor berkenaan kegagalan kerajaan persekutuan untuk menyelenggara dengan baik terhadap bangunan-bangunan persekutuan seperti Hospital Sultanah Aminah dan juga Hospital Sultan Ismail. Begitu jugalah keadaannya yang berlaku di Hospital Pontian. Fasiliti Hospital Pontian yang sedia ada sekarang ini sebenarnya telah dibina sejak tahun 1929 secara berperingkat iaitu sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Untuk makluman Ahli Dewan sekalian, Hospital Pontian menerima bebanan kes-kes rujukan daripada 8 buah klinik yang mana dua daripadanya berstatus KK 3, 33 klinik desa, 1 maternity house dan 17 klinik swasta. Dan pada masa ini fasiliti Hospital Pontian bertambah uzur dan tidak dapat menampung populasi penduduk Pontian yang sekarang ini telah bertambah melebihi 220,000 orang. Kemampuan sedia ada Hospital Pontian pada masa ini adalah sebanyak 0.55 katil bagi setiap 1,000 populasi, yang mana indeks ini sangat jauh daripada standard garis panduan yang telah disediakan iaitu sepatutnya kena melebihi 2.0 katil bagi setiap 1,000 populasi. Dan populasi penduduk Pontian ini dijangka akan berlipat kali ganda dipacu melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat seperti Zon Perindustrian Pekan Nanas, Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin, Petrochemical Complexs, pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas dan juga bila siapnya nanti Jambatan Tanjung Piai yang menghubungkan kawasan penduduk yang padat di antara Nusajaya dan juga daerah Pontian. Pertumbuhan kawasan-kawasan yang saya sebutkan tadi sudah pastinya akan meletakkan Hospital Pontian ini di dalam kawasan emerging economy dan seterusnya akan menjadi industrial prompt zone.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keluhan berkenaan Hospital Pontian ini telah mendapat perhatian daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan disusuli dengan lawatan Yang Berhormat EXCO ke Pontian, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat EXCO Kesihatan atas lawatan ke Hospital Pontian dan terima kasih juga kerana telah menyokong permohonan sehingga lulus peruntukan daripada kerajaan negeri untuk kerja kecil baik pulih Jabatan Kecemasan Hospital Pontian. Jadi, hasil daripada lawatan tersebut saya berharap agar keluhan yang sekian lama ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri untuk menyegerakan permohonan cadangan bangunan tambahan 4 tingkat Hospital Pontian dan seterusnya menggesa kerajaan persekutuan untuk meluluskan permohonan bangunan tambahan ini, bagi menyelesaikan isu-isu keperluan perkhidmatan di Hospital Pontian. Yang Berhormat EXCO Kesihatan, Pulai Sebatang tidak minta, tak mendesak untuk pembinaan hospital baharu sebab saya faham kalau hendak mendesak pembinaan hospital baharu umpama macam nak tunggu bulan jatuh ke riba. Jadi, mintalah tengok balik cadangan bangunan tambahan 4 tingkat. Tanah dah ada dah Yang Berhormat EXCO untuk kita mohon sahaja di peringkat persekutuan. Terima kasih.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk merealisasikan Johor menjadi negeri maju 2030 saya yakin antara faktor utama yang perlu diambil kira adalah berkenaan dengan menyediakan rangkaian jalan yang baik, yang selesa serta selamat di lalui. Jadi, isu kedua yang saya hendak bawa ini berkaitan dengan jalan-jalan yang berada dalam daerah Pontian. Jalan yang menghubungkan keempat-empat DUN dalam daerah Pontian, jalan di antara Pekan Nanas ke bandar Pontian dan seterusnya ke Benut. Isu ini sebenarnya sering timbul dan menjadi keluhan warga Pulai Sebatang. Kalau hendak tahu apa itu jalan bergelombang dan beralun jemputlah datang ke Pontian. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya maksudkan jalan itu bergelombang dan beralun, bukan jalan itu dia beralun macam...

Speaker

Yang Berhormat, sila duduk.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Yang Berhormat sudah pun habis 10 minit, jadi boleh sambung 10 minit lagi di sesi petang nanti. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput Pulai Sebatang untuk meneruskan perbahasan, pagi tadi, sesi pagi tadi Yang Berhormat Pulai Sebatang ada menyebut perkara yang membabitkan Peraturan Mesyuarat, Perkara 45 ya (xiii) (a) dan (b). Iaitu seseorang Ahli tidak boleh sekali-kali mendatangkan sangkaan-sangkaan yang tidak baik kepada seseorang Ahli lain dan menuduh ke atas diri seseorang Ahli lain. Saya telah merujuk balik Verbatim Persidangan Dewan pada 19 hari bulan mengenai butiran yang dibahaskan oleh Yang Berhormat Perling dan berdasarkan semakan saya terhadap Verbatim itu Yang Berhormat Perling memang tidak ada menyebut atau menuduh Dewan ini sebagai low standard. Perkataan standard memang ada disebut oleh Simpang Jeram itu pun dia meminta supaya Dewan kita ini mencapai standard sepertimana System Westminster. Jadi, berdasarkan kepada semakan itu saya minta Yang Berhormat Pulai Sebatang menarik balik tuduhan tersebut, silakan Yang Berhormat.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, kenyataan saya tadi itu sebenarnya berkenaan dengan kenyataan di luar, ia umpama macam pembangkang mengatakan...

Speaker

Tidak Yang Berhormat, Yang Berhormat sebut dalam Dewan. Tarik balik.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Baiklah Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi kemulian Dewan ini dan untuk menjaga masa saya menarik balik apa yang saya katakan tadi. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Terima Yang Berhormat. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Pulai Sebatang, dijemput meneruskan perbahasan selama 10 minit lagi. Silakan.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan jalan bergelombang dan beralun yang saya sebutkan tadi itu bukan maksud saya jalan itu dia beralun dan bergelombang macam air laut, tetapi jalan-jalan dekat Pontian ini kalau kita naik kereta kita rasa macam naik bot, kalau kita naik kereta ada juga yang kata rasa naik kereta tapi macam rasa naik kuda.

Bukan hanya pothole tapi jalan-jalan dekat Pontian selalu berlaku mendapan dan selalu juga berlaku retakan atau pun cracking yang mana sampai ada tumbuh rumput dan kita boleh semak di antara Seksyen 39 hingga Seksyen 45 FT005 betapa suburnya rumput di tanah gambut. Bermacam-macam persepsi negatif dilemparkan kepada pemimpin-pemimpin tempatan termasuk juga kepada JKR Pontian seolah-olah langsung tiada usaha yang dibuat bagi mengatasi masalah kerosakan jalan-jalan utama Pontian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang pengetahuan saya JKR Pontian tidak pernah culas, JKR Pontian tidak pernah gagal. Setiap tahun menghantar permohonan sama ada untuk kerja-kerja baik pulih atau pun kerja-kerja naik taraf dan menyenaraikan permohonan ini dalam Rancangan Malaysia. Jadi oleh sebab itu, saya selaku Wakil Rakyat anak jati Pontian dan jiwa ini dekat dengan JKR maka wajib untuk saya sama-sama bantu menggesa dengan membawa isu, masalah keadaan jalan utama di Pontian ini ke dalam Dewan yang mulia ini, agar mendapat perhatian dari Yang Berhormat EXCO. Setiap kali permohonan untuk mengangkat jalan FT005 Seksyen 39 hingga Seksyen 51 Pontian sebagai projek yang perlu dilaksanakan dalam Rolling Plan, Rancangan Malaysia Ke-12 setiap kali itu jugalah permohonan ini gugur sebelum sempat dibentang. Gugur umpama askar ke medan perang, belum sempat pakai kasut dah kena tembak. Sebab katanya lemah dari segi perisai ataupun kriteria-kriteria permohonan naik taraf jalan. Apa kriterianya? Level of service katanya level of service tidak penuhi, katanya datar trafik sikit. Katanya dengan izin, creativity index ataupun SI dengan prinsip best value for money tidak optimum, data kemalangan sikit. Tapi kalau bab data kemalangan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, orang Pontian dia dah tahu dah jalan dekat Pontian ini memang dia tidak bawa laju, cuma tidak elok juga kalau kita hendak kemalangan ada atau kita hendak tunggu kemalangan maut ada baru kita hendak beri perhatian itu tidaklah elok. Jadi, Yang Berhormat EXCO saya mohon untuk permohonan naik taraf dan baik pulih laluan utama di Pontian ini dikecualikan dari kriteria standard sedia ada, kerana justifikasi perlunya baik pulih sekali gus menaik taraf jalan utama di Pontian tidak sama dengan daerah Johor Bahru, tidak sama dengan daerah Kota Tinggi dan juga daerah-daerah lain kerana tanah di Pontian ini adalah tanah gambut iaitu kategori tanah lembut. Antara bukti bahawa jalan-jalan utama dekat Pontian ini cepat rosak kita boleh lihat data kos baik pulih tahunan.

Untuk rekod tahun 2021, Pontian ini Yang Berhormat Datuk Speaker dia mempunyai jalan persekutuan paling pendek dalam negeri Johor iaitu sepanjang 86.4 kilometer. Tahun lepas hendak baik pulih jalan persekutuan di Pontian memakan belanja RM9 juta, kalau kita berikan dengan jumlah kilometer, 1 kilometer menelan belanja sebanyak RM104,166.00. Kita bandingkan Pontian dengan Johor Bahru yang mana jumlah panjang jalannya tiga kali panjang daripada Pontian dan kita tahu Johor Bahru sangat sesak trafiknya, jumlah panjang jalan 276.95 kilometer, baik pulih RM27 juta, kalau dibahagikan dengan kilometer rendah pada Pontian iaitu baru RM97,490.00. Kita bandingkan pula Pontian dengan Kota Tinggi, Kota Tinggi ini mempunyai jalan persekutuan paling panjang dalam Johor, iaitu sepanjang 759 kilometer tetapi baik pulih tahun lepas 2021 baru RM11 juta. Iaitu kalau 1 kilometer baru RM14,000.00 sangat jauh dengan Pontian. Jadi, ini membuktikan bahawa jalan-jalan utama dekat Pontian ini kerap rosak kerana struktur tanahnya yang lembut. Kos baik pulih RM9 juta tahun lepas Yang Berhormat Datuk Speaker, umpama menabur pasir di atas lumpur. Tak sampai setahun kalau ikut rekod hanya bertahan 6 bulan dah nampak semula tanda-tanda hendak mula rosak. Jadi, kos baik pulih ini sekiranya dikumpulkan secara tahunan pasti menelan belanja yang besar umpama membuat satu projek naik taraf yang baru. Jadi, Pontian ini tidak sesuai untuk kerja baik pulih biasa ianya memerlukan kerja-kerja baik pulih berskala besar yang lebih komprehensif agar lebih efektif. Jadi, saya hendak minta bantuan dan pertimbangan daripada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya agar permohonan baik pulih dan naik taraf laluan FT005 Pontian secara berfasa, bermula dari Seksyen 39 hingga Seksyen 83 diambil perhatian yang serius untuk diangkat di dalam senarai utama permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 nanti dan menggesa agar kerajaan persekutuan meluluskan permohonan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu seterusnya adalah rentetan berkenaan dengan kejadian bot karam pada 2 Jun lalu di Ayer Baloi, Pontian dan telah meragut 2 nyawa. Bermacam-macam spekulasi saya dengar tentang kemalangan ini. Jadi, saya ada cadangan hendak bawa dalam Dewan yang mulia ini, saya hendak, saya rasa cadangan ini sekiranya dapat dilaksanakan ianya juga mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah pencerobohan perairan pantai barat negeri Johor. Ianya berkenaan permohonan untuk mewujudkan sub-pengkalan penguatkuasaan perairan di pantai Pontian. Isu pencerobohan di antara zon A dan Zon B iaitu zon pukat tunda dan juga nelayan sampan, nelayan bot kecil ini sebenarnya telah timbul lama tetapi tiada jalan penyelesaian. Kalau mengikut aduan, kalau ada pencerobohan perairan pukat tunda ini telefon kepada penguatkuasa, masa yang diambil paling cepat pun 30 minit. Jangan kata 30 minit, 50 minit pun pukat tunda itu dah cabut lari. Ada juga berlaku pelanggaran dari segi masa beroperasi, zon pukat tunda sebenarnya 6.00 pagi hingga 6.00 petang tetapi mereka melakukan penangkapan pada waktu malam dan sangat membahayakan kepada nelayan sampan dan juga bot kecil. Jadi, isu ini juga berkait rapat dengan amanat Menteri Besar Johor iaitu teras yang pertama sekali, berkaitan tadbir urus kerajaan. Sekarang ini saya difahamkan kerajaan dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga perairan berkaitan pencerobohan ini tidak mempunyai peralatan yang cukup. Tidak mempunyai kakitangan yang cukup dan paling utama tidak mempunyai peruntukan bagi melengkapkan semua perkara yang saya sebutkan tadi. Namun apa pun alasannya isu pencerobohan zon perairan ini perlu ditangani. Jadi, saya berharap agar kerajaan negeri dapat merangka jalan penyelesaian jangka pendek dan juga panjang berkenaan permohonan bagi mewujudkan sub-pangkalan penguatkuasaan perairan ini dengan kerjasama kerajaan negeri bersama beberapa agensi kerajaan persekutuan seperti APMM, PDRM dan juga Jabatan Perikanan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya adalah berkaitan dengan elaun pegawai masjid dan juga surau, terima kasih saya ucapkan kepada YB EXCO kerana telah bercadang untuk menaikkan elaun cuma saya minta perhalusi balik sebab jurang di antara elaun yang diberikan oleh JAKIM di bawah persekutuan dengan yang kita cadangkan itu jurangnya agak jauh berbeza. Saya juga hendak minta semak cara bayaran elaun ini dibuat kerana saya difahamkan berlaku tunggakan, selalu berlaku tunggakan 3 bulan. Jadi, cara bayaran ini perlu ditambah baik agar pegawai masjid dapat elaun itu setiap bulan. Dan, saya hendak cadangkan dalam Dewan yang mulia ini, apalah salah kiranya kita memperuntukkan kuota haji pada pegawai masjid dan juga surau yang layak dari segi kesihatan, kewangan dan juga umur.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang kelima adalah berkaitan dengan lampu jalan. Saya masuk Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan nampaknya isu yang selalu timbul adalah permohonan lampu jalan terutamanya di kawasan luar bandar. Banyak permohonan, ada juga permohonan yang bertahun-tahun tidak selesai. Siapa hendak buat? Tanggungjawab JKR ke? Tanggungjawab Majlis Perbandaran ke? Tanggungjawab Pejabat Daerah ke? Isu nak tarik wayar, isu nak tarik bekalan, siapa hendak bayar bil? Jadi, ini adalah mustahil untuk jabatan-jabatan memenuhi semua permohonan. Jadi, demi kelestarian negeri Johor saya mencadangkan agar kerajaan negeri buat Program Pencahayaan Kasih Johor, mungkin boleh masuk dalam Belanjawan 2023 peruntukan kepada setiap DUN melalui Pejabat Daerah, dan kita cadangkan lampu solar kerana lampu solar ini dia lebih murah berbanding lampu biasa.

Baik Yang Berhormat Datuk Speaker, isu terakhir adalah isu perumahan. YB EXCO dah jawab panjang berkenaan perumahan cuma saya hendak minta tengok balik kalau laksana dekat Pontian jangan lupa Pontian ini tanah gambut, bila kos sama, design confirm sama. Jadi foundation sama, asas sama. Jadi kena tengok balik dari segi design yang nak dibuat di Pontian berkaitan dengan asas dan foundation rumah tersebut. Saya tak naklah nanti isu

rumah selesai tapi bila rakyat dah duduk berlaku retakan, berlaku mendapan, duduk tak sampai setahun dah rosak nanti dengan izin, backfire balik pada kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata saya berdoa moga Allah sentiasa memberkati kita semua dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Moga Allah kurniakan idea-idea yang bernas buat kita semua supaya kita dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk Bangsa Johor demi kemajuan negeri Johor ini. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing di bawah payung naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan EXCO kerajaan negeri. Pulai Sebatang sentiasa bersedia berkhidmat demi Johor yang lebih makmur dan mencapai negara maju 2030. (Dewan bertepuk). Sekian, saya mohon menyokong. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Saya jemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih. Selamat petang Yang Berhormat Datuk Speaker dan sekalian. Terima kasih atas keizinan untuk saya selaku ADUN Jementah untuk melanjutkan perbahasan saya pada hari ini. Menjunjung kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sempena Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, Jementah menyambut baik titah Tuanku bahawa Tuanku berharap tiada lagi perebutan kuasa dalam tempoh lima tahun ini. Jementah akan tunaikan janji dan laksanakan tugas dengan sedaya upaya demi Bangsa Johor.

Pertama sekali, Jementah ingin membangkitkan isu mengenai Pelan Induk Pelaburan Negeri Johor (PIPNJ) 2030. Mengikuti jawapan dari Yang Berhormat Yong Peng pada hari Ahad yang lalu, Johor State Investment Centre (JSIC) sudah dijadikan sebagai satu pusat agensi sehenti. Merujuk kepada jawapan Yang Berhomat semalam, minta maaf Jementah ucapkan di sini atas kenaifan Jementah. Jementah ingin memohon supaya Yang Berhormat mengumumkan dengan secara terperinci mengenai inisiatif yang akan dilaksanakan.

Yang pertama, apakah dimaksudkan dengan penstrukturan Invest Johor? Berapakah peruntukan untuk penyediaan tabung fasilitasi pelaburan dan siapkah atau industri apa yang disasar? Apakah insentif galakan pelaburan yang disebutkan? Apakah itu pengoptimum zon industri yang sedia ada? Apakah langkah atau inisiatif dan di manakah zon industri tersebut? Apakah inisiatif Johor Friendly dan Johor go-Global dan bagaimanakah program ini menggalakkan pelabur untuk melabur di kawasan desa seperti Jementah, Tenang atau Segamat? Apakah inisiatif atau langkah untuk memperkembangkan industri pertanian sedangkan majoriti pendapatan Bangsa Johor terutama di kawasan Segamat dan Jementah bergantung kepada industri ini?

Pada masa yang sama, Jementah memohon supaya segala informasi adalah bersifat transparent. Jementah percaya bukan sahaja Wakil Rakyat sekalian mengambil berat tentang PIPNJ 2030 ini tetapi begitu juga para Bangsa Johor. Informasi mengenai JSIC atau Invest Johor di laman Internet adalah amat terhad. Kami di kalangan pembangkang memohon izin supaya menyertai program bersama pihak kerajaan bagi mencapai visi utama iaitu demi Bangsa Johor dan demi perkembangan ekonomi yang serata. Jementah menyambut baik titah Yang Maha Mulia Duli Tuanku bahawa kita sebagai Wakil Rakyat yang baharu, kita perlu bekerjasama tanpa mengira parti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berikutan perkara pertama Jementah juga ingin membangkitkan isu infrastruktur di negeri Johor. Johor merupakan salah satu negeri yang paling berdekatan dengan negara jiran kita. Negeri kita juga merupakan negeri yang mempunyai jumlah pelaburan yang tertinggi antara tahun 2016 dan 2018. Tetapi sistem infrastruktur di negeri ini masih tidak dapat menandingi negeri yang lain dan boleh dikatakan

tidak mampu menyokong taraf perkembangan ekonomi untuk masa sekarang. Statistik dari MOT dari tahun 2009 hingga 2018 menunjukkan bahawa purata kegunaan trafik harian di negeri Johor adalah kedua tertinggi di seluruh semenanjung Malaysia. ini membuktikan bahawa sistem lebuh raya yang sedia ada ini tidak lagi mampu menampung aliran trafik yang semakin meningkat. Lebuh raya Utara – Selatan yang menyambungkan utara dan selatan negeri Johor masih terhad dua lorong sahaja. Para pengguna kerap terperangkap dalam kesesakan jalan. Lebuh raya ini disiapkan sejak tahun 1994, selama 3 dekad ini kita tidak menerima sebarangan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk melebarkan lebuh raya ini dari dua lorong ke sekurang-kurangnya empat lorong. Padahal lebih raya ini memainkan yang amat penting dari segi ekonomi bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada negara jiran kita.

Di sini kita ingin menegaskan bahawa perkembangan ini amat mendesak dan kita memohon supaya pihak kerajaan persekutuan mengambil berat tentang isu ini. Lebuh raya ini perlu dinaiktarafkan dalam masa yang terdekat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi peringkat daerah izinkan Jementah memberikan tumpuan khusus kepada kawasan Jementah sahaja dalam perbahasan ini. Kita masih tidak mempunyai exit toll di Jementah atau Segamat dan pengguna terpaksa gunakan jalan lama yang kebanyakannya terdiri daripada satu lorong atau merentasi kawasan kampung. Ini bukan sahaja meningkatkan kos pengangkutan tapi juga membahayakan para pengguna. ECER yang dirasmikan pada tahun 2007 merangkumi 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Johor. Jementah juga dirangkumi untuk dijadikan hab durian yang terbesar di semenanjung Malaysia. Bagi masa sekarang, pengguna jalan raya terpaksa menggunakan exit toll di Yong Peng atau di Tangkak untuk masuk ke kawasan Jementah. Jarak dari Tol Yong Peng ke Jementah adalah 96 kilometer dan jarak exit toll Tangkak ke Jementah adalah 30 kilometer. Ini menambahkan kos pengangkutan para petani dan menyebabkan harga hasil keluaran petani di kawasan ini kurang bertanding dari aspek harga, berbanding dengan hasil keluaran kawasan lain.

Jementah ingin mempertanyakan adakah kerajaan persekutuan mempertimbangkan menambah exit toll di kawasan Jementah atau Segamat dalam masa yang terdekat? Bagi menyempurnakan program ECER, berapakah lama masa yang dijangka akan menyempurnakan projek jalan raya yang menyambungkan Segamat, Jementah, Tangkak sedangkan bajet ini telah diluluskan sejak sekurang-kurangnya 5 tahun yang lepas. Bagi fasa 1A dari Bangunan Kemas ke Taman Yayasan sepanjang 5.6 kilometer, fasa 4 dari Matrikulasi Tangkak ke Kebun Baru sepanjang 11.9 kilometer, fasa 5 dari Tol Tangkak ke Matriukulasi Tangkak sepanjang 8.1 kilometer.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain isu infrastuktur Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga bertitah mengenai industri pelancongan di negeri kesayangan kita. Jementah menyambut baik titah Tuanku. Negeri kita yang cantik ini amat bertuah sebab diberkati dengan pelbagai lokasi pelancongan yang unik dan menonjol seperti Gunung Ledang yang merupakan gunung yang tertinggi di semenanjung Malaysia, Taman Negara Endau-Rompin, Pantai Desaru dan lain-lain. Bagi pelancongan juga dikenal, sorry bidang pelancongan juga dikenal pasti sebagai pemacu utama industi perkhidmatan dalam negara kita. Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 ke 2030 yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 juga memberikan tumpuan kepada segmen pelancongan yang memberikan pendapatan tinggi kepada ekonomi negara kita. Justeru, Jementah ingin bertanya apakah inisiatif yang akan dirancang oleh pihak kerajaan negeri bagi mengalakkan kerjasama antara pihak awam dan swasta seperti yang dititah Tuanku dalam titah Baginda sebelum ini berkenaan usaha meningkatkan sektor pelancongan di negeri Johor.

Jementah ingin tahu apakah langkah yang akan dijalankan bagi memperkasakan masyarakat setempat demi mengukuhkan daya saing dalam sektor pelancongan dalam

negeri kita. Jementah menyeru Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar Warisan dan Budaya supaya memperincikan dan mengemukakan pelan yang lebih inklusif dan komprehensif bagi merancakkan lagi bidang pelancongan di negeri kita dalam masa yang terdekat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita memahami bahawa negara kita berada dalam keadaan pemulihan ekonomi dan bukan sahaja warganegara tengah hidup sengsara diakibatkan COVID-19. Begitu juga pihak kerajaan, tetapi ini bukannya satu alasan bagi kerajaan negeri untuk mengabaikan keperluan asas para Bangsa Johor yang kritikal. Jementah menyambut baik titah Yang Maha Mulia Tuanku bahawa Tuanku membangkitkan isu pembinaan perumahan PRIMA di negeri kita. Kos pembinaan dan harga tanah yang semakin meningkat menyebabkan harga rumah semakin tinggi dan ini menyebabkan kebanyakan Bangsa Johor tidak mampu memiliki rumah sendiri, maka Jementah menyeru supaya pihak kerajaan negeri dapat menambahkan lebih banyak projek pembinaan rumah PRIMA di sekitar Johor. Jementah juga ingin mempertanyakan adakah sebarang projek pembinaan rumah PRIMA di Jementah dalam masa yang terdekat? Apakah inisiatif pihak kerajaan negeri untuk menggalakkan pemaju rumah untuk membina lebih banyak rumah PRIMA?

Yang Berhormat Datuk Speaker, tarikh terakhir sistem perparitan di pekan Jementah dinaikkan taraf adalah pada tahun 1998. Dalam 25 tahun ini, sekurang-kurangnya 5 taman perumahan dibina dalam pekan ini. Selapas lawatan, diperhatikan dinding dan ruang bawah longkang utama tersebut retak. Sistem perparitan dari Lorong 1 ke Lorong 19 Kampung Baru Cina Jementah juga ketinggalan zaman, ini menyebabkan aliran air tidak lancar. Pada masa yang sama kebanyakan longkang dan sump longkang tidak lagi mampu menampung kapasiti aliran air. Kedua-dua masalah ini mengakibatkan banjir kilat di kawasan perumahan yang berdekatan dengan parit utama semasa musim hujan. Pada masa yang sama, perparitan di Sungat Siput, Jementah menjadi satu punca banjir kilat yang melibatkan 8 taman perumahan atau lebih kurang 2,000 orang penghuni. Selepas tahun 2019, kejadian banjir kilat walaupun tidak melibatkan jajaran Sungai Siput tetapi dia menjejaskan kawasan perumahan yang lain. Pendapat dari pihak JPS Segamat menyatakan bahawa sistem perparitan yang sedia ada tidak lagi mampu menampung keadaan air semasa dan pihak JPS telah melantik perunding untuk melaksanakan kajian di kawasan Sungai Siput, kajian tersebut dijangka akan siap bulan Disember tahun ini.

Kita memahami bahawa peruntukan bagi pihak kerajaan negeri amat terhad, terutama dalam keadaan ekonomi yang merosot sekarang, tetapi Jementah ingin menegaskan bahawa sistem perparitan yang sedia ada sudah melebihi 30 tahun. Jementah memohon supaya Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Inftrastruktur memantau isu ini bagi pihak Jementah. Diminta Yang Berhormat nyatakan jumlah peruntukan kepada JPS Segamat untuk mengendalikan sistem perparitan dan aliran di Segamat untuk tahun ini dan tahun 2023. Di sini Jementah juga mengambil kesempatan menggesa pihak kerajaan persekutuan untuk meninjau masalah perparitan di pekan Jementah. Jementah memohon supaya pihak kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan dari tahun 2020 ke 2022 yang terkumpul dan masih tidak disalurkan dalam tiga tahun ini disebabkan kekosongan jawatan ketua masyarakat bagi menaiktarafkan sistem perparitan di Jementah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada April yang lepas Timbalan Menteri Pendidikan Dato’ Dr. Mah Hang Soon mengumumkan Kementerian Pendidikan sedang menerajui hala tuju Sains Teknologi Kejurutaraan dan Matematik iaitu STEM untuk meningkatkan daya saing Bidang Sains Teknologi dan Inovasi negara kita. Inisiatif ini dilihat mampu merancakkan pengagihan ekonomi yang inklusif dengan memfokuskan kepada pengaplikasian teknologi di peringkat akar umbi.

Adalah difahami bahawa kegunaan Internet memainkan peranan yang penting bagi memacu visi ini tetapi kadar ketersambungan Internet di Jementah masih berada dalam tahap yang amat rendah. Kebanyakan kampung tiada dalam rangkuman bekalan talian Internet Unifi, apatah lagi kos Internet yang tinggi adalah amat sukar ditanggungi. Harga broadband di Malaysia amat tinggi jika kita bandingkan dengan harga broadband di negara jiran kita, di mana pakej Unifi untuk 30 mbps download adalah RM89.00 sebulan manakala harga yang tertinggi di Singapura adalah SD29.90 atau RM95.00 sebulan untuk 500 mbps download. Untuk Thailand 950 sorry Thai Bhat 590 atau lebih kurang RM74.00 untuk 1 gps download. Harga perbezaan sebanyak 10 kali ganda kalau kita banding dengan harga Singapura atau 40 kali ganda kalau kita banding dengan harga Thailand. Jadi di sini Jementah ingin bertanya bagaimanakah para pelajar di pinggir bandar atau desa untuk bersaing dengan pelajar untuk kawasan lain atau luar negara? Bagaimanakah keluarga M40 dan B40 untuk menanggung kos Internet yang begitu tinggi terutama dalam keadaan pemulihan ekonomi sekarang? Adakah ini adil untuk golongan pelajar ini? Jementah memohon supaya pihak kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menyediakan bekalan Internet percuma kepada semua pelajar di negeri Johor. Pada masa yang sama, Jementah memohon Pegawai Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan Dan Komunikasi mendesak Telekom Malaysia untuk mempercepatkan pembinaan kabel fiber di kawasan desa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jementah memohon supaya satu jejantas di bina di Jalan Muar – Jementah berdekatan dengan Kampung Paya Jakas. Kawasan ini mempunyai dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Paya Jakas dan Sekolah Agama Paya Jakas. Kedua-dua sekolah ini mempunyai bilangan murid sebanyak 400 orang. Kampung-kampung di lingkungan ini terdiri daripada empat kampung iaitu Kampung Hulu, sorry, Kampung Hulu Jementah, Kampung Paya Jakas, Kampung Krishna, Kampung Permata Panjang dan dua taman perumahan iaitu Taman Jementah Baru dan Taman Intan. Anggaran penghuni untuk kesemua kampung dan taman perumahan ini adalah sebanyak 900 orang. Jalan utama ini terdiri daripada dua lorong ulang alik. Pengguna utama bagi jalan ini bukan sahaja penghuni tempatan yang menggunakan motosikal atau basikal, tetapi kenderaan berat juga. Sejak jalan utama ini dinaiktarafkan, kemalangan kerap berlaku di kawasan ini. Oleh itu, demi keselamatan para murid-murid dan ibu bapa, Jementah menggesa Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur agar meluluskan permohonan Jementah dalam masa yang terdekat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai penggulungan dalam perbahasan ini, Jementah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi atas usaha Yang Amat Berhormat yang telah menyempurnakan pelbagai inisiatif demi Bangsa Johor dalam masa yang begitu singkat. Pada masa yang sama, penghargaan yang tertinggi Jementah ucapkan kepada barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang tengah bertungkus lumus merangkakan polisi yang terbaik bagi Bangsa Johor. Namun Jementah ingin mengambil kesempatan ini memohon supaya para EXCO Yang Berhormat sekalian sentiasa kemas kini kan informasi terkini dalam laman web yang berkenaan dan mengumumkan segala inisiatif yang bermanfaatkan Bangsa Johor di peringkat akar umbi. Sekali lagi Jementah ucapkan terima kasih. Sekian perbahasan Jementah.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Jementah. Saya persilakan Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya, Parit Raja berpeluang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam sidang Dewan yang mulia ini.

Pertamanya, Parit Raja merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim diatas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan Negeri yang mulia ini. Daulat Tuanku. Patik dan seluruh warga Parit Raja juga merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja Johor sebagaimana diperkenan oleh Baginda Sultan Johor pada hari Khamis, 16 Jun 2022 yang lalu.

Parit Raja juga merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Yang Berhormat Rengit sebagai Speaker dan Yang Berhormat Semarang sebagai Timbalan Speaker Dewan yang mulia ini. Dewan yang mulia ini terus menjunjung tinggi dan berpegang teguh kepada Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap bagi menjaga kemuliaan Dewan Negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan ucapan tahniah di atas penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Agong kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang telah membawa gelaran Tan Sri kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani. Ianya merupakan satu pengiktirafan besar kepada seluruh rakyat Johor dan yang terpenting sebagai suntikan semangat kepada penjawat awam menjadi tulang belakang, tunjang, tunggak pentadbiran negeri Johor dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi kesejahteraan dan kemajuan negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat dalam Pilihan raya Negeri yang ke-15 tempoh hari. Buat kali pertama dalam sejarah negara, proses demokrasi melibatkan pengundi berusia 18 tahun. Oleh yang demikian, dengan penuh kesyukuran, keinsafan dan iltizam, marilah kita merealisasikan ikhtiar Barisan Nasional yang telah menjadi tanda harap kepada rakyat dan mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional. Rakyat amat berharap agar kestabilan demi kemakmuran inilah yang dapat membawa kesejahteraan buat mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja menghayati akan titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa bertuahnya Bangsa Johor ini raja dan rakyat berpisah tiada. Rakyat dikasihi keluarga Diraja, menjunjung tinggi institusi Diraja. Maju Johor, harmoni sejahtera. Setiap bait titah Diraja menjadi panduan dan peringatan, menjadi asas dan landasan buat semua Ahli Dewan dalam melaksanakan tugas, tanggungjawab dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di Dewan yang mulia ini menyaksikan Ahli-Ahli Yang Berhormat serius mengutarakan permasalahan dan keluh kesah rakyat. Mencadangkan syor, strategi serta usaha untuk membantu rakyat kerana Ahli Yang Berhormat menyaksikan sendiri kepayahan rakyat. Ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di sini, di Dewan yang mulia ini musyawarah, muafakat sampai ke hati. Pantang duduk meninggalkan muafakat, pantang tegak membuang sepakat, pantang berjalan tidak seniat, pantang berkayuh tidak sebuat, pantang memakai tidak seadat, pakaian diri musyawarah muafakat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat mahu membawa pembangunan, menyelesaikan dan melengkapkan kemudahan asas di kawasan masing-masing. Tinggal peruntukannya saja Yang Berhormat Datuk Speaker. Sejak diumumkan keputusan pada tarikh keramat 12 Mac yang lalu, seluruh Ahli Yang Berhormat yang telah diberi mandat terus berkhidmat dan bertugas. Berpanas, berhujan meredah kampung kerana tanggungjawab yang besar ini digalas dan yang paling penting menjadi saksi apabila kembali bertemu Ilahi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan penuh kesyukuran, Parit Raja merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi yang telah dilantik

sebagai Menteri Besar Johor ke-19 serta barisan EXCO kerajaan negeri Johor. Sesungguhnya ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan muda yang terlibat sama dalam proses demokrasi dalam siri pilihan raya yang lalu. Dengan barisan pemimpin orang muda sekali gus menjadi ikon kepimpinan, besarlah harapan dapat menarik minat seluruh anak muda khasnya di Johor agar turut serta menyumbang bakti kepada sosioekonomi masyarakat, pembangunan dan kemakmuran negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak sampai seratus hari Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengumumkan Bantuan Kasih Bangsa Johor, memberi manfaat kepada 3.69 juta rakyat Johor sebagai tanda penghargaan dan kasih kepada seluruh rakyat Johor dengan merangkumi lima kategori utama, ditambah dengan pelbagai usaha, ikhtiar, inisiatif, lawatan mengejut demi kesejahteraan rakyat. Parit Raja pun ternanti-nanti, bila agaknya Yang Amat Berhormat Menteri Besar nak turun ke Parit Raja, tapi janganlah lawatan mengejut. Apalah kiranya insya-Allah, semoga projek membina Klinik Kesihatan Parit Raja yang telah dimasukkan dalam RMK Ke-12 dapat direalisasikan. Insya-Allah bersama dengan EXCO Kesihatan kita jemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Parit Raja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja mengucapkan terima kasih di atas amanat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan penuh tekad, keazaman dan iltizam untuk menunaikan ikhtiar Barisan Nasional dan terus memacu kemajuan dan kesejahteraan rakyat negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun kita sudah berada di fasa endemik, namun isu dan permasalahan rakyat tiada berkesudahan, malah wujud permasalahan serta cabaran-cabaran baru. Syukur alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mentadbir dengan kerajaan yang kukuh dan stabil dengan kestabilan pembangunan dapat dilaksanakan. Dengan kestabilan, kesejahteraan rakyat dapat didahulukan, dengan kestabilan, kemajuan negeri dapat dijayakan. Sebagai Wakil Rakyat yang sudah dipilih, Parit Raja akan membangkitkan perkara yang membelenggu rakyat kerana percaya di dalam Dewan yang mulia ini yang belum dapat selesai, diselesaikan, serius dan wajar diberi keutamaan, dapat diangkat dan dijayakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam mempertingkatkan tadbir urus. Parit Raja berharap kerajaan negeri dapat menyatakan pendirian serta usaha dan mengemukakan cadangan dalam menyelesaikan masalah terhadap projek-projek sakit. Projek yang sudah sepatutnya siap dan dapat digunakan oleh rakyat tapi masih tertangguh hingga ke hari ini. Berapa lama rakyat harus menunggu dan apakah kaedah yang tuntas dari kerajaan negeri dalam mengurus projek-projek sakit yang berkeperluan mendesak demi kesejahteraan rakyat. Parit Raja memberi contoh, kawasan kerja-kerja membina laluan baru jalan Kampung Rahmat merentasi Estet Sri Gading, Batu Pahat, Johor yang sepatutnya dijadualkan siap pada 5 Mac 2020, namun masih belum dapat disiapkan hingga ke hari ini. Jalan ini merupakan jalan penghubung yang sangat penting, perbezaan penjimatan masa yang begitu ketara serta sangat bermanfaat buat semua warga penduduk. Jalan yang tidak hanya tidak sampai 5% untuk disempurnakan, namun apakah masalah yang berlaku hingga kelewatan begitu lama? Satu lagi contoh kerja-kerja baik pulih infrastruktur, struktur kawasan bangunan, struktur bangunan yang mengalami kerosakan teruk di Sekolah Kebangsaan Parit Raja. Pemeriksaan struktur bangunan telah dijalankan oleh Bahagian Perkhidmatan Forensik Struktur JKR dan mencadangkan beberapa syor. Pelbagai usaha telah diutarakan, namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian. Keadaan semakin merbahaya kepada seluruh warga sekolah. Parit Raja merayu dan berharap perkara ini mesti diselesaikan segera. Projek-projek sakit ini Parit Raja berharap kerajaan negeri mempunyai kaedah yang tuntas untuk menanganinya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah lampu jalan. Lampu jalan ada, tapi tak hidup sehingga menyebabkan kawasan tersebut berlaku banyak kemalangan. Masalah penyelenggaraan lampu jalan di jalan persekutuan FT50, terutama kawasan Sri Gading ke

Parit Raja, jalan tersebut penting dan menjadi laluan utama untuk rakyat. Namun seringkali peruntukan untuk membaik pulih lampu itu berlaku kelewatan dan perkara yang tidak diingini berlaku kepada pengguna. Parit Raja juga telah memajukan permohonan lampu jalan kampung yang sangat penting kepada masyarakat kampung agar keselamatan lebih terjamin. Parit Raja menyokong cadangan Yang Berhormat Kahang agar Yang Amat Berhormat dapat meluluskan peruntukan 100 buah lampu jalan bagi setiap DUN.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja seterusnya memohon pendirian tegas daripada kerajaan negeri terhadap pekerja warga asing yang bebas menyewa di taman-taman perumahan yang dibina untuk rakyat tempatan. Lebih menyedihkan, mereka menyewa di perumahan kos rendah. Situasi ini menimbulkan ketidakselesaan, masalah penjagaan kebersihan wujud dan menimbulkan kebimbingan terhadap keselamatan anak-anak yang masih kecil. Malahan lebih parah apabila dalam tempoh pandemik dan tempoh kuarantin, pekerja asing berlegar sesuka hati di kawasan perumahan tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kemudahan asas menjadi akses kepada kehidupan yang berkualiti untuk rakyat Johor, bagaimana kita ingin menjadi negeri yang maju jika perkara asas ini tidak dapat diselesaikan. Perkhidmatan air kepada rakyat, hari ini masih terdapat rakyat yang dibelenggu masalah air, ada mengadu tekanan bekalan air rendah, gangguan bekalan paip lama. Oleh yang demikian, kerajaan negeri sewajarnya memberikan perhatian dalam usaha memantapkan sistem bekalan air bersih, menaiktaraf sistem paip air secara berperingkat dengan mengganti paip-paip yang lama. Menaiktaraf empangan bagi menampung keperluan negeri Johor dari masa ke semasa. Dalam menangani isu ini, Parit Raja berharap satu strategi jangka panjang antara Perancang Bandar mesti mewujudkan kerjasama dengan pengurusan sistem bekalan air bagi menyusun semula keseimbangan kewujudan taman-taman baru di kawasan kampung tradisi agar kemudahan ini berada pada tahap memuaskan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kemudahan Internet dan telekomunikasi yang menyeluruh Parit Raja menyokong hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Hakikatnya, masih banyak tempat yang jauh ketinggalan dan mendapat akses dari kemudahan jalur lebar. Parit Raja sebagai radar yang berdekatan dengan IPT namun masih terdapat kampung sekitar yang tidak mendapat akses Internet. Parit Raja akui, memang banyak usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan tetapi kita juga perlu berhadapan bahawa hari ini seluruh rakyat masyarakat bergantung urusan harian dengan keperluan Internet.

Yang Berhormat Datuk Speaker, setelah 2 tahun pandemik, hampir seluruh padang futsal di kampung-kampung terjejas dan perlukan penyelenggaraan. Difahamkan kosnya agak tinggi, namun di padang futsal kampung dan tamanlah yang paling dekat di hati anak muda. Walau apa pun aktiviti harian masing-masing, waktu petang menjadi kebiasaan berkumpul dan bersukan. Di situlah terbinanya hubungan persahabatan dan persaudaraan. Semoga perkara ini mendapat perhatian dari kerajaan negeri agar memberi peruntukan baik pulih kepada semua DUN.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja menjunjung titah Tuanku berkaitan perlantikan ketua kampung. Sepanjang menempuh pandemik membantu program imunisasi COVID kebangsaan dengan jayanya, membawa doktor dan misi ke rumah-rumah, menghantar bakul makanan sebelum bendara putih naik, barisan paling hadapan yang menjawab isu-isu dekat di hati rakyat seperti perparitan, jalan berlubang, kekurangan lampu jalan. Sejak ketua kampung angkat sumpah mereka berkhidmat dengan sepenuh hati, bersengkang mata bergadai nyawa ketika berdepan dengan wabak-wabak COVID-19, melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira kesulitan dan risiko terhadap kesihatan mereka sendiri. Khidmat bakti ketua kampung amat disanjung tinggi. Ketua kampung turut bertanggungjawab bagi memastikan Bantuan Kasih Beras Johor dinikmati oleh setiap rumah

di negeri Johor. Sehubungan dengan itu, Parit Raja menyokong usul dari Yang Berhormat Sungai Balang agar elaun ketua kampung dinaikan kepada RM1,500.00 (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja menjunjung titah Tuanku berkenaan sektor pelancongan, wajar diambil perhatian. Sektor ini ingin Parit Raja kaitkan dengan koridor Penggaram, Sri Gading, Parit Raja, Ayer Hitam. Koridor ini merupakan koridor premier yang membangun selari dengan jajaran rangkaian jalan utama yang menghubungkan antara bandar Penggaram, Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam. Selaras dengan Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor, PIPAJ 2045 dan MyHSR, koridor ini akan menerima rangsangan sistem infrastruktur nasional iaitu sistem kereta api berkelajuan tinggi, high speed rail dengan izin, di Pura Kencana dengan bertemakan Bandar Tekstil. Cadangan ini di lihat sebagai satu impetus development dengan izin, kepada pembangunan daerah Batu Pahat pada masa akan datang. Sekali gus membawa kemajuan kepada negeri Johor. Sekiranya dilaksanakan, ia dapat memberi impak. Cadangan HSR di koridor ini antaranya, perkembangan di Sri Gading dan daerah Batu Pahat sebagai bandar baharu, limpahan pembangunan, kewujudan bandar satelit dapat dibangunkan di daerah Batu Pahat. Mengukuhkan koridor perbandaran melalui kepelbagaian aktiviti ekonomi, industri, komersial dan perumahan. Peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan. Peningkatan kemudahan awam kepada rakyat daripada Kuala Lumpur, Batu Pahat, Johor Bahru ke Singapura dan sekaligus meningkatkan sektor pelancongan.

Sehubungan dengan itu, Batu Pahat juga boleh diperkenalkan sebagai bandar TVET dengan menghasilkan mahasiswa fresh graduate dengan izin, yang berkemahiran tinggi untuk berkhidmat di sektor manufacturing and construction sector dengan izin, dan berkaitan. UTHM dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Sri Gading, masing-masing melahirkan kepakaran Civil Construction dan Advanced Construction dengan izin, bagi membantu pembangunan dan kemajuan negeri dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi seperti yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.

Speaker

Yang Berhormat, tinggal 1 minit.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Saya cuba habiskan Yang Berhormat Datuk Speaker. Oleh yang demikian, besarlah harapan agar projek HSR ini dapat diteruskan supaya dapat memberi manfaat di zon pembangunan koridor premier dan limpahan pembangunan yang seimbang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi merealisasikan Maju Johor marilah kita berganding bahu bagi memastikan Bangsa Johor dapat mencapai impian yang dihasratkan demi kemakmuran kita bersama. Hormat-menghormati tunjang kekuatan kita. Muafakat membawa berkat. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Permata selatan negerinya makmur, hidup harmoni rakyat berbilang, nama Johor sudah tersohor, maju sejahtera gilang-gemilang. Sekian, Parit Raja mohon menyokong. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Saya silakan Yang Berhormat Bukit Kepong.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNBukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirahmanirahhim. (Bacaan selawat). Bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaan dan izin-Nya Bukit Kepong dapat mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan di Dewan yang mulia pada hari ini.

Pilihan Raya Negeri Johor pada bulan Mac yang lalu telah mengizinkan Bukit Kepong untuk kembali ke Dewan yang mulia ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga sudah tentulah kepada pengundi di Parlimen Pagoh khasnya Dewan Undang Negeri DUN Bukit Kepong. Tanpa kepercayaan dan undi daripada mereka tidak mungkin untuk Bukit Kepong berada di

Dewan yang mulia ini bersama dengan seluruh Ahli Dewan Negeri yang lain. Amanah yang telah diberikan ini akan Bukit Kepong laksanakan dengan penuh rasa insaf, bertanggungjawab dan kesungguhan, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum melangkau jauh ucapan ini izinkan Bukit Kepong untuk merafakkan sembah ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim atas ulang tahun hari keputeraan rasmi Baginda Tuanku pada 23 Mac 2022 yang lalu. Patik juga menjunjung kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 16 Jun 2022 yang lalu. Titah Baginda Tuanku yang mahukan kerajaan negeri bergerak tanpa kepercayaan politik termasuk soal pelantikan Ahli Majlis Tempatan amatlah bertepatan dan disanjung tinggi. Patik sebagai salah seoarang daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor menjunjung titah dan menjunjung kasih atas teguran Baginda Tuanku.

Seterusnya patik juga ingin merafak sembah ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas pelantikan sebagai Pemangku Raja Johor. Patik selaku Wakil Rakyat dan rakyat negeri Johor sentiasa bersedia menerima dan menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Raja. Ucapan tahniah juga patik zahirkan atas pencapaian membanggakan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim dalam pertandingan domestik mahupun antarabangsa. Patik mendoakan semoga Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim akan terus mengecap lebih kejayaan demi kejayaan dari masa ke semasa, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan juga Bukit Kepong mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor atas kurniaan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota sempena ulang tahun hari keputeraan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Semoga penganugerahan Darjah Kebesaran kepada Yang Berhormat Tan Sri menjadi tauladan seterusnya membakar semangat anggota perkhidmatan awam Johor untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dari masa ke semasa.

Sebagai sebuah kerajaan yang telah menerima mandat, mentadbirlah dengan penuh integriti dan akauntabiliti sekali gus menjauhi sebarang salah laku jenayah, rasuah dan bebas daripada penyelewangan, keutamaan haruslah diberikan kepada soal kemasalahatan atau kepentingan rakyat bukannya kepentingan peribadi ataupun agenda tersembunyi. Pastikan setiap ceruk dan seluruh pelusuk diberikan perhatian sehingga tiada seorang pun dipinggirkan tanpa mengira kawasan kerajaan ataupun pembangkang. Soal kesejahteraan rakyat ini tidak seharusnya bersifat terpilih dan memisahkan. Selain itu, kerajaan negeri perlu memastikan prestasi ekonomi negeri Johor kembali cemerlang dan rekod-rekod nilai pelaburan yang diluaskan perlu membanggakan. Ini kerana, pada tahun lalu negeri Johor tidak tersenarai dalam 5 negeri yang mencatatkan pelaburan tertinggi yang diluluskan meskipun Malaysia dilaporkan telah mencatat prestasi ekonomi yang cemerlang dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM306.5 bilion. Laporan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA pada Mac 2022. Oleh itu, kerajaan negeri haruslah komited dalam menjayakan usaha untuk ke arah pemulihan ekonomi yang disokong oleh pembaharuan dasar berterusan. Ekonomi semasa endemik dengan cabaran yang unik menuntut negeri Johor untuk mengorak langkah ke hadapan seterusnya memacu dan menjayakan pelbagai usaha.

Yang Berhormat Datuk Speaker, muktahir ini rakyat begitu terkesan dengan cabaran semasa kos sara hidup yang kian meningkat. Pergi sahajalah ke pasar raya, pasar basah dan kedai runcit, kenaikan harga barang semakin meruncing dan membimbangkan. Bukit Kepong sendiri merasai dengan ketara soal kenaikan harga barang ini. Maka, isu pokok ini

perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan negeri dengan memikirkan tindakan-tindakan intervensi. Bukit Kepong sedar terdapat usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, tidak dinafikan bagaimana pun dalam keadaan semasa wujudnya keperluan untuk rakyat yang terbelenggu, dengan kesusahan hidup dibantu secara terus dan segera. Pendekatan yang lebih prihatin perlu dijayakan agar ada makanan atas meja rakyat setiap hari. Bukit Kepong mencadanglan agar dilaksanakan Program Jualan Prihatin Rakyat. Program ini sudah terbukti berjaya berdasarkan maklum balas yang diterima oleh rakyat ketika ianya dilakukan di Parlimen Pagoh dan di DUN Bukit Kepong. Rakyat yang terhimpit dengan bebanan kos sara hidup boleh mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga berpatutan atau lebih rendah.

Suka atau tidak beras, telur, garam, gula, ayam hidup, ayam hidup mahupun sayur-sayuran merupakan bahan keperluan asas yang perlu ada di dapur setiap rakyat. Sekiranya ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan, ia mampu meringankan beban rakyat. Intervensi ini menuntut komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakannya. Bukit Kepong ingin mencadangkan agar aktiviti pertanian dan penternakan di atas tanah milik kerajaan yang terbiar atau tiada perancangan diberikan kebenaran untuk diusahakan. Berikanlah ilmu dan latihan kepada rakyat yang berminat, mudahkan pemberian dana atau geran, bimbing mereka sehingga mampu untuk menguruskan aktiviti yang diusahakan pada akhirnya rantaian bekalan untuk dijual kepada rakyat pada harga yang murah di pasar dapat ditingkatkan. Begitu juga dengan aktiviti pertanian, komuniti yang dapat menambah pendapatan kepada mereka yang mengusahakan sekali gus sedkit sebanyak menangani masalah kos sara hidup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Bukit Kepong ingin menyentuh beberapa perkara melibatkan pentadbiran kerajaan negeri. Pertamanya berkenaan dengan isu kesihatan awam. Baru-baru ini negara dikejutkan dengan laporan berkaitan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan ancaman Monkey pox atau cacar monyet. Walau bagaimanapun, Bukit Kepong tidak melihat kesungguhan kerajaan negeri berkongsikan maklumat terkini dan situasi semasa penyakit tersebut bagi negeri ini. Kerajaan negeri seharusnya meng update dari semasa ke semasa selain meningkatkan kesedaran, memberikan nasihat serta melaksanakan promosi kesihatan awam. Bukit Kepong berharap EXCO berkaitan lebih proaktif untuk mengadakan promosi kesedaran awam kepada seluruh masyarakat. Engagement bersama rakyat bukanlah hanya di media sosial tetapi dengan mendekati dan menyantuni rakyat kebanyakan di seluruh pelusuk Johor. Atas sebab itu, sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan awam perlulah ditingkatkan demi kesejahteraan sosial.

Tumpuan bukan hanya terhadap permasalahan ringan sebaliknya juga kepada soal keselesaan rakyat yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Naik taraf hospital dan klinik agar dilengkapi fasiliti terbaik untuk rakyat. Sehingga ke hari ini, keadaan semasa fasiliti kesihatan milik kerajaan masih perlu ditambah baik dan mesra rakyat. Oleh itu, tinjauan secara bersekala ke setiap fasiliti-fasiliti kesihatan milik kerajaan di seluruh negeri Johor perlu terus dilakukan untuk dipanjangkan segala permasalahan ke peringkat Kementerian bagi tindakan lanjut.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Negeri Johor Yang Ke-15 telah menggesa kerajaan persekutuan memberikan peruntukan yang lebih kepada negeri Johor wajar diberikan perhatian sedalam-dalamnya. Penzahiran perasaan sedih Baginda Tuanku terhadap bangunan persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik termasuklah fasiliti kesihatan milik kerajaan seharusnya diberikan perhatian yang serius. Negeri Johor tidak boleh dikesisikan atau dikesampingkan kerana kita juga antara penyumbang utama ekonomi negeri. Justeru, di sinilah peranan kerajaan negeri untuk memastikan negeri Johor tidak hilang dari radar kerajaan persekutuan.

Selain itu, Bukit Kepong mencadangkan agar dijayakan skim untuk keluarga atau individu berpendapatan rendah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta. Skim ini diwujudkan untuk meringankan beban kewangan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan bagi gejala ringan di fasiliti swasta.

Yang Berhormat Tuan Speaker, seterusnya Bukit Kepong ingin menyentuh berkenaan insdutri pelancongan negeri Johor. Susulan daripada pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022 yang lalu. Bukit Kepong amatlah berterima kasih kepada Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyidin bin Mohd Yassin kerana telah mengemukakan syor yang akhirnya diterima oleh kerajaan untuk membuka semula pintu sempadan negara. Sejak dunia dan Malaysia amnya dilanda pandemik COVID-19, industri pelancongan negara termasuklah negeri Johor antara sektor yang terjejas teruk. Pintu sempadan negara terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang membimbangkan. Implikasi daripada penutupan sempadan negara bukan sahaja memberi kesan kepada operator-operator pelancongan, turut terkesan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sebelum ini menerima limpahan manfaat dengan kehadiran pengunjung. Walaupun industri ini masih dapat beroperasi dalam skala domestik apabila kerajaan persekutuan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan namun ia kurang memadai.

Kini keadaan industri pelancongan negara semakin bertambah baik dengan pembukaan sempadan. Kemasukan pelancong dari negara jiran, Singapura atau negara asing lain telah merancakkan industri pelancongan dan menghadirkan rezeki yang bertambah kepada para peniaga. Justeru, melihat kepda situasi semasa ini, kerajaan negeri perlu poraktif dalam merancang pelbagai inisiatif yang dapat memperkasakan sektor pelancongan. Ini kerana Bukit Kepong kurang merasai sentuhan EXCO yang bertanggungjawab. Harus diingat, bahawa penting untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Johor terutama mereka yang bermalam di hotel dan resort yang ada di Johor. Kita tidak boleh membenarkan Johor sekadar menjadi destinasi persinggahan atau laluan untuk kumpulan pelancongan ke negara lain. Promosi dan tawarkanlah pakej-pakej menarik yang dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong seterusnya merancakkan sektor dan menambahkan hasil pendapatan Johor.

Negeri Johor kaya dengan flora dan faunanya, terlalu banyak tempat-tempat menarik untuk disinggahi, hotel-hotel bertaraf lima bintang, taman tema antarabangsa, pusat membeli belah terkemuka, air terjun, pulau dengan pantai yang bersih serta sajian lokal yang membuka selera. Oleh itu, tindakan yang holistik perlu diambil bagi menjayakan semua yang telah dinyatakan. Manfaatkalah keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah Johor dalam mengoptimumkan penawaran produk pelancongan yang bernilai tinggi. Di samping itu, Bukit Kepong ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk merancakkan sektor agro pelancongan bagi tujuan farmstay atau latihan pertanian. Kerajaan negeri juga boleh memperkasakan pelancongan kesihatan dengan menarik lebih ramai pelancong asing mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital pakar seperti hospital pakar milik KPJ. Jadikanlah Johor sebagai pilihan utama destinasi sukan dan rekreasi seperti sukan lasak dan berbasikal, menggunapakai dan manfaatkanlah insfrastruktur serta prasarana SUKMA Johor dan telah siap dibina, agar ianya tidak menjadi gajah putih.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Bukit Kepong ingin mengambil kesempatan dalam ucapan perbahasan pada hari ini, untuk menyentuh beberapa perkara mahupun isu melibatkan DUN Bukit Kepong. Keberkesanan sesebuah kerajaan akan lebih bermakna sekiranya kesejahteraan rakyat diberikan perhatian yang sewajarnya. Negeri Johor akan mengecapi kemajuan jika rakyatnya menikmati pengagihan dan limpahan manfaat secara saksama serta menikmati segala bentuk kemudahan yang ada, berasa selamat, hidup makmur dan

sejahtera. Oleh itu, Bukit Kepong ingin mendapatkan perincian daripada kerajaan negeri mengenai perkembangan terkini Jalan Bukit Pasir By Pass dengan izin, untuk makluman laluan ini telah diberikan perhatian dan dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2020 ketika Bukit Kepong menjadi Menteri Besar. Seterusnya adalah mengenai perkembangan terkini rumah mampu milik di Mukim Lenga yang mana status tanah asal sektor pertanian telah pun ditukar ke status perumahan juga semasa Bukit Kepong menjadi Menteri Besar. Begitu juga dengan status tanah rumah transit untuk asnaf di Sungai Meda, Mukim Bukit Kepong di bawah seliaan Majlis Agama Islam Johor. Perumahan pada masa kini merupakan isu kritikal, melibatkan rakyat. Sebagai Wakil Rakyat, Bukit Kepong mahu melihat projek-projek perumahan ini dapat dijayakan tanpa mengira siapa pun yang memerintah kerajaan negeri.

Yang Berhormat Tuan Speaker, tiada yang lebih utama selain melihat negeri Johor terus makmur dengan ekonominya yang kembali pulih dan utuh, sekali gus rakyatnya hidup sejahtera. Kita semua dan kerajaan negeri tidak boleh berpeluk tubuh bersikap pasif dan berada dalam keadaan yang amat selesa. Masa depan ekonomi negeri Johor mesti diperkasakan dan segala potensi dan isinya dibongkar seluas-luasnya. Tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi dengan matlamat menjadikan ekonomi Johor berdaya saing mampu menarik minat pelabur asing dan domestik.

Kita tidak boleh membiarkan, kita tidak boleh membiarkan negeri Johor sekadar menjadi pemerhati kepada negeri dan negara lain yang telah menerima pelaburan jauh lebih memberangsangkan. Sedangkan negeri Johor punyai infrastruktur, prasarana dan ekosistem yang kondusif serta lengkap untuk para pelabur. Perancangan yang jelas bagi keutuhan ekonomi negeri Johor pada masa hadapan perlu ada. Hubungan yang baik, hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu dimanfaatkan dengan sehabis-habisnya. Pada masa yang sama, tumpuan kerajaan negeri haruslah terarah kepada usaha menambah hasil mahsyul dan mengurangkan hutang kerajaan. Untuk itu, kerajaan negeri perlu mempunyai integriti, nilai moral dan etika yang tinggi. Penting untuk dipastikan hasil sumber bumi Johor digunakan sebaiknya untuk pembangunan negeri dan Bangsa Johor. Dengan kedudukan semasa kewangan negeri, ingatan Bukit Kepong kepada kerajaan negeri agar dapat berbelanja secara berhemah dan mengikut keperluan sebenar. Akhir kalam sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Bukit Kepong mendoakan semoga negeri Johor terus makmur dan rakyatnya hidup sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada serangkap pantun memandangkan Bukit Kepong, Muar, Pagoh sekarang dia ada musim durian kan. Jadi ada serangkap pantun untuk semua sahabat-sahabat di sini, durian di Pagoh sedapnya setengah mati, mudah didapati di mana-mana, pembangkang kerajaan bersatu hati, bersatu hati membangun Bangsa Johor bersama-sama. (Doa). Kepada Allah Berserah, Muafakat Itu Berkat. Sekian, wabillahitaufil walhidayah assalmualaikum warahmatukllahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Kepong, Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 4.00 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.42 petang

Persidangan disambung semula pada jam 4.03 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Panti.

Terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhun Sultan Iskandar berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tuanku. Panti juga merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas pelantikan sebagai Pemangku Raja. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas penganugerahan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Panglima Setia Mahkota Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 6 Jun yang lalu. (Dewan bertepuk).

Kedua ingin, Panti ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pelantikan sebagai Menteri Besar, juga tahniah kepada barisan EXCO, semoga kalian semua dapat menggalas tanggungjawab dengan sempurna dan sebaiknya demi negeri Johor yang kita kasihi ini. Dan yang paling utama, Panti ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Bangsa Johor keseluruhannya, khususnya pengundi yang membuat pilihan sehingga kami Barisan Nasional mampu menang dengan majoriti 2/3 dan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil. Insya Allah janji kami khususnya Ikhtiar Johor yang kami persembahkan semasa kempen dan Panti yakin pada hari ini kerajaan yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz sebagai Menteri Besar akan melaksanakan perkara tersebut sebaiknya. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga sudah banyak kali menyatakan komitmen bagi melaksanakan Ikhtiar Johor tersebut untuk semua Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti sekali lagi merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku khususnya berkaitan perihal ekonomi negeri Johor ini. Sehingga tahun 2018, negeri Johor berada di tempat pertama bagi jumlah pelaburan di Malaysia, namun semakin menurun selepas itu atas ketidakcekapan pentadbiran selepas 2018. Johor dan rakyatnya yang menanggung segala kesan sehingga hari ini. Kalau kita lihat segala pelaburan yang baru pada hari ini, itu pun banyak yang pada awalnya dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum tahun 2018. Panti mencadangkan juga agar kerajaan negeri selain dari memberi fokus kepada pelaburan secara konvensional, perlu juga melihat kepada industri baru atau dengan izin, emerging industry. Kerjasama erat dengan institusi pengajian tinggi tempatan, institusi pengajian tinggi luar negara dan kerajaan negeri perlu dipergiatkan. Maksimumkan segala pusat penyelidikan yang ada di negeri Johor, dan jika perlu, haruslah diperbanyakkan. Ini kerana potensi industri ini amat besar dan mempunyai nilai yang tinggi pada masa hadapan apabila dikomersialkan kelak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perusahan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 38.9% pada tahun 2019 terhadap KDNK Malaysia iaitu sekitar RM1.2 trilion setahun. PKS juga menyumbang hampir 50% pekerjaan dalam sektor swasta. Ini menurut kajian Small Business Association of America pada tahun 2019. Separuh lagi yang kita tahu, kadar pengangguran khsususnya di kalangan graduan juga meningkat sebanyak 13% akibat pandemik COVID yang lalu. Maka sudah tentulah tumpuan yang lebih perlu diberi untuk PKS ini khususnya di Johor. Selain dari mencipta kekayaan, PKS mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Panti maklum akan beberapa inisiatif di peringkat persekutuan, namun Panti ingin melihat kita di peringkat kerajaan negeri sendiri yang memperkenalkan inisiatif atau dasar terbaru yang baik. Mungkin melalui kekuatan agensi negeri, contohnya Johor Corporation, PIJ Holdings, PUJB dan lain-lain sama ada dari sudut kewangan, insentif cukai, bantuan promosi, latihan dan sebagainya. Negeri perlu lebih berani melabur untuk mereka PKS ini, barulah adanya pulangan yang lebih besar dan baik. Panti juga menggesa agar Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor yang wujud

sekian lama perlu lebih aktif digerakkan oleh kerajaan negeri. Perbanyakkan program libat urus antara agensi keusahawanan dengan pihak-pihak PKS sama ada yang baru atau yang sudah lama menjalankan perniagaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain dari hospital dan beberapa tempat yang memerlukan penyelenggaraan, jangan kita lupa tentang perkara-perkara di bawah kerajaan negeri, contohnya sekolah-sekolah agama, masjid dan surau-surau. Isu ini sebenarnya banyak kali dibangkitkan penggal lepas dan juga oleh Tiram semalam. Cuma EXCO dulu sentiasa berjanji, bila nak buat Panti pun tidak pasti. Harap EXCO sekarang mampu untuk laksanakan atau kemukakan satu solusi terbaik. Panti faham akan implikasi kewangan yang wujud atas isu penyelenggaraan ini. Maka Panti mencadangkan mungkin untuk negeri menukar status tanah premis-premis ini kepada tanah wakaf agar ianya dapat dibantu di bawah tabung wakaf itu sendiri. Penyelenggaraan dan naik taraf jalan, naik taraf saliran seperti yang dibangkitkan oleh Pasir Raja dan Permas, sebelum itu Panti mohon Perling untuk buat homework sikit sebelum berbahas. Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor telah wujud sejak tahun 2015. Mungkin bila Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada tahun 2018, perkara-perkara ini di tong sampahkan. Sebab itu Perling tidak maklum akan perkara ini. Berbalik kepada perkara penyelenggaraan jalan khususnya.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Point of Order Datuk Speaker, saya jawab kerana nama saya disebut, saya bincang Pelan Induk Pengangkutan secara keseluruhan dan bukan hanya…

Timbalan Speaker

Tidak perlukan penjelasan Yang Berhormat Perling, terima kasih. Teruskan.

Berbalik kepada perkara penyelenggaraan jalan yang khususnya, Panti mohon untuk setiap cadangan naik taraf atau penyelenggaraan di bawa dalam pengetahuan dan perbincangan setiap pemegang taruh. Ada aduan khususnya penduduk setempat, banyak berlaku naik taraf jalan atau saliran yang tidak perlu, tetapi tempat yang lebih memerlukan tidak diselenggara apatah lagi untuk naik taraf. Perkara ini jika berlaku, tidak langsung menyelesaikan masalah penduduk, malah ianya satu pembaziran, yang sepatutnya boleh dielakkan. Perkara seterusnya adalah tentang titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan gesaan untuk melaksanakan banyak lagi pembangunan infrastruktur, contohnya High Speed Rail dan lebuh raya baru. Titah ini sudah tentunya akan memberi banyak manfaat dan limpahan ekonomi kepada Bangsa Johor serta kawasan sekitar pembangunan tersebut. Panti menjunjung kasih dan sangat bersetuju dengan perkara ini. Berkaitan perkara High Speed Rail ini seperti yang kita maklum ianya telah ditangguh atau dikecilkan pada tahun 2018 apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang kuat dan stabil pada hari ini, Panti mencadangkan agar kerajaan negeri mendesak kerajaan persekutuan untuk projek ini dimajukan mengikut perancangan awal yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke Singapura. Ini penting agar memastikan segala perancangan dan limpahan yang baik untuk ekonomi negeri khususnya dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Untuk makluman, projek High Speed Rail ini jika dilaksanakan mengikut perancangan asal akan memberi manfaat ekonomi sehingga RM21 bilion bagi hasil kasar dalam negara sehingga 2060 selain akan mewujudkan 110,000 peluang pekerjaan. Jumlah ini bukan jumlah yang kecil. Bayangkan impaknya kepada negeri Johor pada masa hadapan.

Seterusnya berkaitan infrastruktur. Panti bersetuju dengan Pemanis sewaktu berbahas yang membangkitkan isu FELDA, khususnya isu pemilikan tanah dan perumahan generasi kedua. Di Panti ada tiga FELDA iaitu FELDA Linggiu, FELDA Penggeli Timur dan FELDA Sungai Sibol. Ada beberapa isu yang perlu perhatian segera di FELDA-FELDA ini, yang berkaitan dengan penempatan generasi kedua contohnya, pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut. Tanpa infrastruktur seperti jalan dan saliran contohnya, maka

penempatan tidak dapat dibangunkan. Maka Panti mohon penglibatan kerajaan negeri dalam isu ini, mari kita bersama FELDA dan beberapa agensi lain membantu. Sama seperti yang dicadangkan oleh Penawar semalam, Panti juga mencadangkan untuk kerajaan negeri melihat keperluan mewujudkan satu portfolio khas di bawah seorang EXCO yang menjaga FELDA agar bukan sahaja isu FELDA ini, isu FELDA di Panti dapat ditangani dengan baik, malah isu-isu FELDA di 78 buah FELDA seluruh negeri Johor dapat kita santuni sepenuhnya. Sebenarnya, cadangan ini pernah Panti utarakan pada penggal lepas, namun dipandang sepi tanpa sebarang ulasan atau tindakan. Untuk makluman, Johor mempunyai FELDA kedua tertinggi selepas negeri Pahang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perpaduan dan keharmonian bermasyarakat, khususnya di kalangan kaum amatlah penting, lagi-lagi di negeri Johor yang mempunyai komposisi antara kaum yang seimbang, juga adanya ramai warga asing yang tinggal di negeri ini, hasil dari beberapa dasar yang kerajaan sama ada persekutuan atau negeri perkenalkan. Selain daripada kerajaan negeri memastikan warga asing ini benar-benar faham tentang adat dan budaya kita di Johor, kerajaan juga perlu memastikan agar mereka faham dan sentiasa patuh kepada undang-undang di negeri ini. Panti bangkitkan isu ini disebabkan ada aduan tentang warga asing yang kadang-kadang tidak faham tentang budaya dan adat di sini. Contohnya semasa perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, sudah tentu dalam suasana tersebut akan wujud keadaan sedikit bising hingga lewat malam dan juga budaya ziarah menziarahi yang menyebabkan ada sedikit kesesakan di sesetengah kawasan kediaman, ada aduan yang mereka ini kadang-kadang sehingga membuat laporan sama ada pada pihak keselamatan di kawasan perumahan atau pihak Polis sendiri. Ini jika tidak dibendung, ini jika tidak dibendung awal akan menyebabkan isu yang lebih besar kelak. Mungkin kerajaan negeri melalui pihak berkaitan menyediakan kelas-kelas berkaitan adat dan budaya Bangsa Johor yang bukan sahaja warga asing ini dapat sertai, malah generasi baru juga dapat terlibat sama memahami sebaiknya tentang Johor dan budayanya.

Satu perkara lagi adalah berkaitan dengan usaha pihak kerajaan, khususnya di peringkat sekolah untuk memupuk perpaduan antara kaum, antara yang diperkenalkan ialah dengan memperkenalkan topik-topik bertemakan perpaduan, aktiviti kokurikulum antara kaum dan juga sekolah wawasan yang wujud sejak tahun 1997. Panti ingin bertanya tentang keberkesanan perkara ini. Panti juga ingin mencadangkan agar kerajaan negeri juga mewujudkan satu jawatankuasa khas berkenaan perpaduan ini bagi memastikan elemen perpaduan sentiasa dipupuk dari usia yang kecil dan suasana harmoni antara kaum sentiasa wujud walau di mana kita berada dan bermasyarakat. Tagline Muafakat Johor yang digunakan sebelum tahun 2018 oleh kerajaan negeri dulu juga merupakan salah satu usaha yang Panti rasa berjaya sehingga menjadi ikutan banyak pihak. Ianya harus diteruskan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Panti ingin mengambil peluang dalam perbahasan kali ini untuk menyuarakan beberapa isu setempat bagi pertimbangan dan tindakan kerajaan negeri. Tetapi sebelum itu Panti menyokong untuk negeri menyemak semula elaun ketua kampung seperti yang dibangkitkan oleh rakan-rakan sebelum ini. Mereka inilah tunjang penghubung bagi negeri bersama dengan masyarakat, sentiasa ada dengan masyarakat, sentiasa prihatin untuk masyarakat.

Yang Berhormat Speaker, jaminan bekalan makanan atau food security ini pada pandangan Panti mempunyai tiga komponen yang penting. Pertama ialah ketersediaan atau mempunyai kecukupan berkaitan makanan, kedua adalah akses kepada bekalan makanan dan ketiga adalah penggunaan makanan yang mencukupi dan berkhasiat. Setiap komponen ini perlu seimbang agar tujuan dan matlamat agenda ini dapat dicapai sebaiknya. Johor perlu menjadi perintis dalam membina sebuah model perdagangan terbaik dalam menjana sekuriti makanan negeri ini pada masa akan datang. Untuk membina sebuah

model terbaik ini, Panti mencadangkan kerjasama erat perlu dilakukan dengan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi yang mungkin mempunyai solusi dalam isu ini. Di Panti kita ada Lembah Peladang Sungai Lebak dan Panti mencadangkan agar tumpuan juga dapat diberi di kawasan ini dalam penglibatan pelaksanaan agenda jaminan bekalan makanan yang sedang diusahakan. Ianya perlu lebih agresif dan berfokus. Selain daripada itu, Panti yakin kawasan sekitar berhampiran Lembah Peladang Sungai Lebak ini juga mempunyai potensi untuk tujuan yang sama.

Yang kedua, Panti ingin mencadangkan untuk negeri pertimbangkan bagi mewujudkan satu pusat pengumpulan bagi produk sejuk beku di kawasan Panti. Ini kerana banyak wujudnya produk-produk sejuk beku ini termasuklah produk sejuk beku berasaskan kuih muih, hasil ternakan kampung, dan lain-lain yang hanya bergerak secara sendiri. Dengan adanya pusat pengumpulan produk sejuk beku yang dicadangkan ini, ianya mampu memberi lonjakan dan tidak mustahil akan wujud lebih ramai lagi usahawan baru yang berjaya.

Yang ketiga ialah tentang industri pelancongan di Panti. Seperti yang dibangkitkan oleh Kukup, yang menyebut banyak tempat yang sinonim dengan tarikan yang tersendiri. Panti juga sebenarnya tidak ketandusan tempat dan kawasan menarik untuk dilawati. Antaranya ialah Gunung Muntahak, Gunung Panti, Air Terjun Kota Tinggi, Homestay Kampung Temenin, RAF’s Village dan sedang dalam pembinaan ialah Sanctuary Gajah. Cuma Sanctuary Gajah ini sepatutnya agenda utamanya adalah untuk menyelesaikan masalah gajah dengan penduduk dan yang kedua barulah sebagai pusat tarikan pelancong. Panti mencadangkan untuk kawasan pelancongan ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Pertama, dari segi pengurusan dan penyelenggaraannya. Peruntukan yang mencukupi perlu disediakan agar segala kemudahan awam dapat kita pastikan ada dan berfungsi dengan baik. Pengurusan perlulah dipastikan yang betul-betul mampu, bukan pengurusan sebelum ini yang gagal diambil semula untuk mengurus tempat-tempat ini.

Kedua, adalah aspek promosi yang Panti kira sangat lemah. Kerjasama antara pusat pelancongan ini dengan agensi-agensi negeri dengan kawasan perlancongan di kawasan lain juga perlu diadakan agar ianya dapat dipakejkan. Program juga perlu sentiasa dipantau di peringkat negeri agar tempat-tempat ini sentiasa ada dalam kalendar pelancongan negeri.

Keempat, adalah tentang status bangunan awam yang nampak terbiar di sekitar Panti. Ini juga adalah seperti yang dibangkitkan oleh Tenang pagi tadi. Contohnya, Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Taman Sayong Pinang, Pinang Merah, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Taman Sayong Pinang, Pinang Hijau, Kuarters Perumahan Guru di Taman Sayong Pinang, dan Pusat Latihan Guru dalam Perkhidmatan di Bandar Tenggara. Banyak dari premis ini sudah terbiar bertahun-tahun. Ianya banyak memberi kesan yang negatif selain dari pemandangan yang tidak baik. Selalunya kawasan ini menjadi tempat berlakunya aktiviti yang tidak sihat seperti aktiviti maksiat, tempat penagihan dadah juga pembiakan haiwan berbisa dan nyamuk yang mungkin membawa penyakit berbahaya.

Selain daripada penyelenggaraan yang sepatutnya, Panti mencadangkan agar agensi berkaitan mengadakan satu perjumpaan dengan semua pemegang taruh termasuk penduduk setempat untuk membincangkan kegunaan premis ini. Jika tidak lagi ada keperluan untuk digunakan bagi tujuan asal diwujudkan tempat ini. Ianya boleh dijadikan pelbagai perkara yang lebih baik contohnya, pusat jagaan kanak-kanak, rumah anak yatim, pusat riadah dan lain-lain.

Dan yang kelima, adalah berkaitan status perumahan PPR Bandar Tenggara yang sudah lama tertangguh. Selain dari status bila boleh disiapkan, Panti ingin kepastian tentang syarat yang ditetapkan sama ada ianya sewa beli atau hanya untuk sewaan sahaja. Ini kerana kalau ditanya pada sebelum ini, jawapannya sentiasa berbeza-beza. Maka, Panti

mengambil kesempatan untuk bertanya di Dewan yang mulia ini. Panti harap perumahan ini adalah untuk sewa beli bagi mereka yang layak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan Panti harap segala perkara yang dibangkitkan oleh Panti dan rakan-rakan mendapat perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan. Jangan jadi seperti beberapa tahun sebelum ini khususnya sejak tahun 2018 banyak janji tapi dari segi pelaksanaan amatlah menyedihkan. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmatnya buat kita Bangsa Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Panti mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Panti. Diteruskan perbahasan, dijemput Yang Berhormat Layang-layang.

Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Bismillahirahmanirahim. (Doa). Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana pada petang ini tibalah giliran saya untuk menyampaikan perbahasan mewakili Layang-layang. Pertamanya saya ingin mengangkatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT dan seterusnya juga merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dalam pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Dan saya juga ingin merafak sembah ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Pemangku Raja yang telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan. Saya ingin juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Rengit, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi di atas pelantikan sebagai Speaker Dewan Negeri Johor yang baharu dan Yang Berhormat Semarang, Yang Berhormat Datuk Samsolbari bin Haji Jamali sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor yang baharu. Dan saya ingin juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor dan barisan EXCO dan seterusnya juga sebagai anak peneroka FELDA saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor yang telah dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena hari Sambutan Ulang tahun Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang Dipertuan Agong Yang Ke-16 pada 6 Jun 2022 yang lalu. Sebagai anak peneroka, semoga ianya akan menjadi perangsang kepada penjawat-penjawat awam dan seterusnya juga sebagai pencetus kepada warga-warga FELDA, anak-anak FELDA untuk mengikuti kejayaan Yang Berhormat Tan Sri. Tahniah Yang Berhormat Tan Sri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kali ini saya ingin membawa perkara yang berkaitan dengan Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sekolah Agama Kerajaan Johor ini mempunyai sejarah yang sangat lama iaitu lebih 100 tahun dan telah menyambut hari ulang tahun yang ke-100 pada 2019 yang lalu tak silap saya. Maka dengan sebab itu, banyak perkara yang perlu dilihat di dalam penubuhan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor ini yang berasal dari Sekolah Agama, Sekolah Kitab, Sekolah Al-Quran dan juga sekolah agama pagi kepada sekolah agama petang dan sekarang Sekolah Agama Kerajaan Johor di mana sering dibangkitkan bahawa kekurangan guru. Saya dimaklumkan bahawa, terdapat hampir 380 orang guru yang telah sedia ada telah berpindah ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Di mana pada hari ini terdapat kekurangan guru-guru sekolah agama di negeri Johor. Untuk fasa 6, terdapat 12 lagi buah sekolah baharu yang akan dibina dan ini juga memerlukan lagi bilangan guru-guru sekolah agama untuk ditambah. Selain daripada guru-guru yang bersara awal, maka dengan sebab itu, saya menyarankan kepada pihak kerajaan pada hari ini untuk menyegerakan penambahan guru, pengambilan guru melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor (Dewan bertepuk).

Perkara yang kedua yang ingin saya nyatakan juga yang berkaitan dengan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor iaitu kajian silibus dan kurikulum. Seingat saya semasa saya dulu berkhidmat menjadi EXCO kerajaan negeri, EXCO Agama dulu perkara ini telah pun diluluskan untuk dibuat satu kajian silibus dan kurikulum kitab-kitab Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor supaya ianya sesuai dengan masa sekarang. Maka dengan sebab itu, menjadi hasrat saya untuk melihat anak-anak bangsa kita khususnya yang menuntut agama, ilmu agama di sekolah-sekolah agama supaya mereka dapat menimba ilmu dengan menggunakan silibus dan kurikulum yang terkini. Adalah diharapkan kepada pihak kerajaan negeri Johor untuk membuat kajian silibus dan kurikulum ini secepat mungkin.

Begitu juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kerajaan pada hari ini telah mengangkat kedudukan Kolej Pengajian Tinggi Islam Johor kepada Kolej Pengajian Tinggi Islam Sultan Ibrahim. Ya, pada hari ini kita lihat MARSAH di mana perkara ini telah pun dibawa dan telah pun berjaya pada beberapa hari lepas, beberapa bulan lepas telah pun berjaya mengangkat kedudukan MARSAH ini sebagai sebuah kolej yang bertaraf kolej universiti. Saya ucap tahniah.

Selain daripada itu juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor telah menjadi Johan Keseluruhan Perujian Tahfiz dan Hafazan yang dianjurkan bersama dengan kerajaan persekutuan. (Dewan bertepuk). Dan lebih membanggakan lagi iaitu johan yang menjadikan kita johan keseluruhan iaitu adik Nurjahidah Hadirah binti Elias, johan 30 Juzuk berserta dengan tafsir berasal daripada Ayer Hitam. (Dewan Bertepuk). Dan yang membanggakan lagi johan 1 hingga 20 juzuk lelaki iaitu Ahmad Ikmal bin Muhammad Riduan berasal daripada Renggam. Ha, itu yang nombor satu nak kena ingat tu. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak pembangkang ada mengemukakan, mengatakan tentang cuti hari Jumaat dan Sabtu. Saya ingin membawa usul ini juga Yang Berhormat sebab perkara ini sangat rapat dengan saya pada tahun 2014. Kita ingat pertukaran tarikh cuti kelepasan bagi negeri Johor ini bermula daripada hari Jumaat, Sabtu berpindah kepada hari Sabtu dan Ahad pada tahun 1994. Dan seterusnya ditukar kepada Jumaat dan Sabtu pada tahun 2014. Maka dengan sebab itu, saya ingin menyarankan kepada pihak kerajaan supaya mengkaji dan menyemak seadil-adilnya sebab kita tahu bahawa hari Jumaat itu merupakan penghulu segala hari. Hari diciptakan alam ini dan hari kiamat itu juga berlaku pada hari Jumaat dan kalau kita melihat dalam banyak hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa kelebihan hari Jumaat itu setiap amalan itu digandakan sehingga 1,000 kali ganda dan lebih daripada itu. Maka dengan sebab itu, saya minta supaya dikaji seadil-adilnya, ditimbang dengan sebaik-baiknya supaya kita jangan mengejar keduniaan tetapi kita meninggalkan pahala akhirat kita. Kerana inilah yang lebih utama yang kita nak bawa dalam kehidupan kita, ‘walal akhiratul khoiru wa abqa’. (Dewan bertepuk). Akhirat itu lebih baik dan lebih kekal. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tak boleh bercakap panjang tentang perkara ini. Banyak lagi. Seorang sahabat saya, Yang Berhormat Mahkota.

Jadi, saya ingin membawa isu-isu yang berkaitan di kawasan saya di Layang-Layang. Saya rasa tak banyak isu kerana kawasan saya ini sebelum ini diwakili oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya, Alhamdulillah mudah sikit berjiran dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Yang pertama yang ingin saya bangkitkan di sini iaitu perumahan dan tapak rumah kawasan yang terbakar di pekan Layang-Layang. Ini pun dah lama dah 2 kali terbakar kawasan ini. Semakin besar kawasan terbakar ini dan ini pun semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama saya telah bawa perkara daripada kerajaan untuk dalam proses penswastaan. Mudah-mudahan perkara ini dapat direalisasikan oleh pihak kerajaan.

Yang kedua, penggantian paip air di Layang-layang. Bulan lepas, bulan lepas saya ingin menegur supaya perkara ini tidak berulang, ya. Tidak berulang lagi kerana saya dimaklumkan bahawa terdapat pembaikan paip di Mengkibol tetapi kesannya sampai ke Layang-Layang. Asalnya 48 jam tapi terputusnya bekalan air itu sehingga hampir 10 hari. Dan paling mengecewakan iaitu bekalan lori bekalan-bekalan air ini tidak sampai dan banyak orang-orang di kawasan saya yang merungut kerana anak-anak mereka nak pergi sekolah, mereka nak mandi, mereka nak berwuduk dan bermacam-macam lagi. Maka dengan sebab itu, saya menyarankan supaya sekiranya ada pembaikan dan sebagainya diletakkan satu kampung itu satu tangki air. Supaya dapat meringankan beban sekiranya berlaku terputusnya bekalan air. Dan begitu juga penggantian paip air ini saya minta supaya kerajaan dapat laksanakan kerana saya dimaklumkan bahawa diberikan peruntukan sebanyak RM600 juta lebih untuk penggantian paip bukan setakat di Layang-Layang sahaja dan di Renggam malah di kawasan-kawasan lain.

Yang ketiga iaitu Pengangkutan Awam Johor sebelum ini sudah ada daripada Simpang Renggam ke Pekan Renggam dan kali ini saya minta kerana ada permintaan daripada Pekan Layang-Layang hingga ke bandar Kluang. Masih ada permintaan bas transit-transit ini, Yang Berhormat Datuk Speaker sebab Layang-Layang ini agak jauh sedikit daripada kawasan bandar namun sentiasa dilawati oleh orang-orang dari Kluang yang bekerja di Johor Bahru.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan Renggam, di kawasan Renggam telah pun diumumkan sebagai Bandar Belia dan TMIYC, 4 fasa yang akan dibina berjumlah RM25 juta. Saya harapkan perkara ini dapat direalisasikan dan saya berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia yang telah datang untuk melihat, meninjau pelaksanaan projek ini nanti, insya-Allah. Cuma apa yang saya ingin maklumkan bahawa di bandar Renggam ini hanya terdapat dua buah taman iaitu Taman Sri Jaya dan juga Taman Perumahan Rumah Murah Rakyat. Saya pernah membawa dulu kepada kerajaan supaya diadakan, dibuat satu pengambilan balik tanah lebih kurang 50 ekar untuk dijadikan tapak Rumah Mampu Milik Johor di bandar Renggam untuk jumlah sebanyak 450 unit dan juga 30 unit rumah kedai. Jadi saya minta supaya perkara ini dapat dilaksanakan. Apa ertinya sekiranya kita umumkan Renggam ini Bandar Belia, wujud TMIYC tapi tak ada orang yang duduk. Ada dua taman sahaja tuan-tuan di bandar Renggam. Maka dengan sebab itu saya minta supaya perkara ini dapat dilaksanakan dan sebenarnya ada permintaan daripada belia-belia kita untuk membeli rumah kerana ada belia-belia kita yang bekerja di ladang. Di Renggam ini sehingga ke Pekan Layang-Layang terdapat 16 buah ladang ataupun estet di mana mereka ini memerlukan rumah. Mereka memerlukan rumah untuk mereka beli dengan harga yang mampu milik dan berhampiran dengan tempat kerja mereka kerana apabila mereka berhenti bekerja di ladang-ladang ini mereka akan dapat pindah ke rumah yang mereka telah miliki.

Begitu juga saya ingin memaklumkan juga pada Dewan yang mulia ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, tapak rumah terbakar di bandar Renggam. Tapak rumah terbakar ini dapat sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan ataupun apa caranya untuk dibersihkan kerana di sinilah jugas tapak akan dibina TMIYC ini.

Seterusnya yang terakhir, yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker iaitu perumahan Transit Asnaf, Majlis Agama Islam di negeri Johor yang berhampiran dengan Kompleks Penghulu di Simpang Renggam perlulah dibina kerana perkara ini telah pun diadakan majlis pecah tanah dan telah pun dilantik kontraktor untuk membina. Sebenarnya Rumah Transit Asnaf ini sangat penting dan juga menjimatkan kewangan Majlis Agama Islam Negeri Johor, dari segi menyediakan tunai, wang tunai untuk mereka membayar sewa kepada asnaf-asnaf yang memerlukan. Salah satu diantaranya terdiri daripada mualaf, terdiri daripada kalangan fakir, terdiri daripada kalangan mereka-mereka yang tidak mampu untuk mempunyai rumah. Ini penting. Maka dengan sebab itu, Perumahan Transit Asnaf Majlis Agama Islam Negeri

Johor ini perlu, Cuma saya dimaklumkan bahawa tanah ini adalah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan. Mintak tolong Yang Berhormat Tan Sri, kita anak FELDA, orang susah. Jadi, dapat kiranya dibantu bersama dengan Yang Berhormat EXCO Agama, insya-Allah perkara ini dapat direalisasikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tidak berhasrat untuk bercakap panjang, berbahas dengan panjang tetapi saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana saya dapat kembali ke dalam Dewan yang mulia ini untuk berbahas. (Dewan bertepuk). Semuanya sepatutnya bersyukur kerana kita membawa suara rakyat. Mudah-mudahan kita ini adalah penunjuk kepada kebaikan sebagaimana disabdakan oleh Baginda Rasullah SAW (bacaan hadis). “Menunjukkan seseorang itu satu benda yang baik samalah seperti kita yang melakukan”.

Jadi, akhirnya saya Layang-Layang mohon untuk menyokong usul Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabrakatuh (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumusalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. Seterusnya perbahasan dijemput Yang Berhormat Mahkota.

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabrakatuh. Salam maju Bangsa Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada Mahkota untuk berbahas pada hari ini. Pembuka kata izinkan Mahkota mewakili keseluruh rakyat DUN Mahkota merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung kasih dan menjunjung kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena majlis Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15. Mahkota juga merakamkan, Mahkota juga menyampaikan doa daripada seluruh rakyat di Mahkota semoga Duli Tuanku sentiasa mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah SWT serta dilanjutkan usia. Seterusnya mengambil kesempatan mewakili rakyat di Mahkota juga menjunjung kasih merafak sembah dan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang diamanahkan dan dilantik sebagai Pemangku Raja Johor. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan keluarga sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Allah SWT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama sekali Mahkota ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas perkenan Kebawah Duli Tuanku melantik Yang Amat Berhormat untuk menerajui kerajaan Johor. Mahkota yakin dan percaya Yang Amat Berhormat akan dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh adil, ikhlas, bijaksana serta dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab ke aras keharmonian, kesejahteraan, kemajuan rakyat Johor sehingga BN, BN Johor akan rampas kembali kawasan Parlimen yang gagal pada Pilihan raya Umum Ke-14 (Dewan bertepuk). Akibat ditipu oleh parti yang tak bertanggungjawab.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Sri Utama Hasni Mohammad, mantan Menteri Besar Johor yang telah menggalas amanah sebagai ketua pentadbir negeri Johor selama hampir 1 tahun. Jasa Yang Berhormat tak dapat, tak dapat dilupakan. YB berjaya merangkumi semua badai, sehingga kerajaan Johor kembali kepada Barisan Nasional. Pemimpin BN penuh berakhlak, Hasni sempoi tiada koyak; tampuk bertukar tiada bergolak, Onn Hafiz pula muda dan bijak. (Dewan bertepuk). MB lama segak berusia, MB baru tegap muda, pemimpin BN pantas bekerja, negeri dan rakyat sentiasa terbela (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota juga merakamkan tahniah dan syabas kepada Speaker dan Timbalan Speaker yang telah dinobatkan dan akan sentiasa menerajui ataupun mengetuai Dewan yang berbahagia ini. Tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri kerana diberikan penghormatan kurniaan anugerah daripada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Inilah pembuka sejarah Johor. Johor menang dengan 40 kerusi lebih daripada dua per tiga, hebatnya lain macam rupanya ketua pentadbir juga dianugerahkan darjat yang terbaik. Mahkota memanjatkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama di Dewan yang mulia ini untuk menunaikan tanggungjawab bagi menyampaikan hasrat rakyat DUN Mahkota agar tidak ada mereka yang tertinggal. Tidak ada mereka yang tersisih dari kemakmuran, kemajuan negeri dan kesejahteraan Johor. Tahniah kepada semua sahabat-sahabat Ahli Yang Berhormat kerana dapat bersama-sama mengembalikan demokrasi dalam amalan pekerjaan dengan menjayakan pilihan raya negeri, PRN yang diadakan pada bulan Mac lalu. Alhamdulillah, ia berlangsung lancar dan kini kita dalam kerajaan baru untuk agenda yang sangat besar iaitu fokus kepada usaha mengembalikan kemakmuran, kemajuan dan kejayaan Bangsa Johor. Hari ini genap 100 hari kita bergelar Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, prestasi terbaik Barisan Nasional harus dipertingkatkan dan kekalkan kecemerlangan. Justeru sama-samalah kita mendukung kerajaan pilihan dari rakyat dengan berusaha dan berdoa agar pentadbiran kerajaan baru, pemimpin pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan dapat berjalan lancar menerajui kemakmuran dalam kestabilan untuk masa depan negeri Johor Darul Takzim. Maju Johor. Jagalah seluruh rakyat negeri Johor, janganlah ada yang disisihkan kerana setiap inividu rakyat itu wajib dibela dan disantuni.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota telah melalui tiga pentadbiran. Yang pertama 22 bulan sebagai pembangkang, bila kata pembangkang ini, pembangkang sana jangan terasa. Kerana bila dah jadi pembangkang kita terasa diri kita dijijikkan sebenarnya tidak. Kita sama-sama dalam satu Dewan, sama-sama dapat elaun yang sama setiap bulan (Dewan bertepuk). Satu tahun, PN kerajaan campuran. Nak buat apa pun tak boleh kerana keputusan mesti bersama, bagi pada BN, PPBM marah. Bagi pada PPBM, Pas marah. Sebab itu kerajaan negeri pada ketika itu tidak boleh menstabilkan dan melaksanakan tanggungjawab yang terbaik. Kini kembali dalam Dewan ini mewakili kawasan Mahkota, dulu Penawar tetapi tetap di bawah pentadbiran kepimpinan BN, kerajaan yang menang lebih dua per tiga (Dewan bertepuk). Sesungguhnya amanah yang dipikul sebagai Wakil Rakyat untuk berbincang dan berbahas di Dewan ini amat penting kerana sebarang keputusan bakal memberi impak kepada rakyat yang telah pun memberikan kepercayaan kepada kita dan kesan lebih besar adalah kepada negeri Johor yang menjadi tanah tumpah darah kita selama ini. Alhamdulillah, BN memimpin rakyat. Memimpin dengan semangat muafakat, wahai YB-YB BN bantulah rakyat. Kepada Allah memohon berkat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kesempatan ini saya menyebut kembali titah Baginda Sultan Johor ketika perasmian Sidang DUN Khamis lalu, betapa Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2018 berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan tuntutan Pulau Batu Puteh. Ketika itu kerajaan persekutuan dengan rasminya mengumumkan yang negara kita tidak akan meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Puteh daripada Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Sedangkan tarikh perbicaraan telah pun, telah hampir dan ditetapkan pada 11 Jun 2018. Semakin malang bila kepimpinan negara ketika itu dengan perasaan tidak hormat dengan sewenang-wenangnya membatalkan atau pun perkenan Baginda malah sehingga kini tidak ada sebarang penyelesaian mengakibatkan kita kehilangan milik Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya. Usaha mengemukakan permohonan untuk semakan

penghakiman Pulau Batu Puteh harus dibuat kerana terdapat penemuan bukti baru. Dalam hal ini Baginda Sultan telah mengingatkan bahawa semua pihak jangan buat keputusan sesuka hati kerana hal berkaitan kuasa-kuasa negeri tertakluk di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Apa-apa perkara khususnya yang melibatkan soal kedaulatan negara tidak boleh dipandang mudah malah perlu dinilai dan diteliti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan bidang kuasa negeri dan kedaulatan Bangsa Johor, mesti dipertahankan dan bukan sewenang-wenangnya diputuskan oleh mereka yang tidak ada jati diri. Apatah lagi individu yang tidak berkait dengan negeri Johor. Lebih malang kerajaan langsung tidak dirujuk, kerajaan Johor langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan negeri Johor yang dinaungi oleh Baginda Tuanku Sultan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apakah motif atau agenda sebenar? Sehinggakan perkara berkaitan kepentingan negara, kedaulatan tanah air dan keutamaan maruah pertiwi dibelakangkan. Persoalan inilah yang muncul sejak keputusan itu dibuat.

Yang Berhormat-Yang Berhormat, kita tidak boleh mundur dan berundur keputusan meneruskan prosiding seolah-olah kita menyerah kalah sebelum berjuang. Mengangkat bendera putih sebelum masuk ke medan tempur dan betapa daifnya melepaskan kedaulatan tanah air dengan mudah tanpa mempertahankannya sehabis daya dan usaha. Hal nusa dan bangsa mesti ada ketegasan, mesti diperjuangkan berterusan. Patah sayap bertongkat paruh, patah kaki bertongkat siku, biar putih tulang, jangan putih mata, mengalah tidak pernah ada dalam kamus kita. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku inilah jadinya. Wajah kita diconteng arang yang mesti kita bersihkan. Sehubungan itu, selari dengan titah Baginda Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Mahkota mencadangkan kerajaan baharu hari ini mesti bertegas bukan hanya terhadap usaha untuk kajian opsyen yang telah pun diambil oleh kerajaan persekutuan, tetapi juga bertindak tegas terhadap individu itu ketika itu yang telah melanggar kuasa negeri kita. Dan perlu diterjemahkan dengan tindakan, malah mesti direalitikan agar menjadi tauladan iktibar kepada orang lain. Kerana itulah, para pejuang terdahulu sering menyematkan biar nyawa melayang, biar jasad terpisah dari badan, biar hancur lumat tulang temulang, biar darah mengalir membasahi bumi, takkan sekali-kali nusa bangsa ditaruhkan. Tanah air tercinta mesti terus dipertahankan walau cuma seinci, atau sebesar kuman, Bangsa Johor enggan dikotak-katikkan. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengar nasib YB Kota Iskandar tunggu 14 tahun, sedih dan pilu, tapi, inilah dia politik. Mahkota lagi lama. Cuba diberi kepercayaan hanya diberikan lantikan Senator, tapi idaman hati sebenarnya nak jadi ADUN. Sejak jadi Ketua Wanita Barisan Nasional Kluang daripada tahun 1993 dan Ketua Wanita Negeri dua penggal, akhirnya parti beri peluang bertanding PRU-14 di dalam kawasan orang, DUN Penawar. Baru mula jatuh cinta dengan orang Penawar, dah diarah bertanding kawasan Mahkota. Alhamdulillah, menang. Wanita diperjudikan. Tiga kali ganda pengundi daripada Penawar ke Mahkota, hebat tak hebatlah wanita. Ditolak, diuji, tapi atas usaha gigih serta logo keramat Barisan Nasional bawa kejayaan, malahan empat orang wanita bertarung nyawa untuk rampas kembali kawasan kalah Barisan Nasional maksud ungkapan Mahkota Yang Amat Berhormat, ni cakap bukan cakap saja, cakap ada makna.

Timbalan Speaker

Masa tetap sama.

Sayangilah wanita Yang Berhormat Datuk Speaker, sayangilah wanita, hari ini akhir berbahas berikan lebih masa. Bantulah wanita. Hargailah wanita. Berilah apa yang ada dengan lebih-lebih.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota yang 3/4 kawasan adalah dalam kawasan bandar. Perlukan banyak tumpuan dan dibangunkan dan anugerah yang pernah diterima bandar dalam taman. Akan dapat diceriakan kembali sehubungan itu dicadangkan bahawa DUN Mahkota yang dibawah pentadbiran daerah Kluang merupakan salah satu daripada tiga daerah dalam negeri Johor yang dikenali sebagai landlocked dengan izin, demografi di tengah-tengah negeri Johor yang muka bumi bertanah dan jauh daripada laut. Sebab itu bila pergi Penawar rasa suka, dapat hari-hari mandi laut. Bukan sahaja mandi laut, boleh juga pakai bikini. Walaupun begitu, Mahkota wajar dibantu untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan darat. Sehubungan dengan itu, Mahkota ingin mencadangkan Sungai Mengkibol dijadikan pusat aktiviti air, seperti Sungai Segget. Tengok Sungai Segget daripada busuk jadi cantik, Mahkota juga teringin Sungai Mengkibol daripada tak bau busuk tetapi diperindahkan lagi. Kalau ada dalam bajet harap disegerakan jangan bagi bajet sikit-sikit, bagi sekali gus tentukan Mahkota mesti bawah pentadbiran ADUN wanita, mesti lebih baik daripada sebelum ini. Dulu jadi kawasan PH. Tersedak pula Md Said Joned. Wujudkan pusat kebudayaan Keluarga Malaysia di Mahkota selaras dengan trademark Maju Johor yang mana pelbagai kekayaan etnik budaya harus dibangunkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ikhtiar Barisan Nasional Johor untuk kestabilan menggariskan lima perkara. Antaranya kesejahteraan rakyat, kestabilan masa depan, Mahkota berpendapat kejayaan Mahkota, Mahkota ini macam, gajah ni besar, dulu Penawar macam bomoh, sekarang ni kat Mahkota dah macam orang yang ternama.

Timbalan Speaker

Iyalah Mahkota, iyalah.

Lima minit tambah. Antara kesejahteraan rakyat, kestabilan masa depan, Mahkota berpendapat, kejayaan PRN Johor adalah kerana kecemerlangan kerajaan menangani COVID-19 dan kini juga dalam keadaan beransur-ansur memulihkan kestabilan ekonomi walaupun kerajaan campuran tapi juragannya, nakhodanya adalah Barisan Nasional.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kelima-lima ikhtiar ini dapat dicapai apabila kita mempunyai pasukan yang sepakat bagi pastikan kestabilan. Ikhtiar Johor adalah sebuah tekad yang kita rangkum dari semua aspek. Kejayaan Keluarga Johor dan Maju Johor akan tercapai apabila kita fokus berperanan memastikan setiap rungutan dan harapan rakyat dapat dibantu dengan penuh integriti dan kerjasama kedua pihak politik dan pentadbir. Manakala, kerangka lima tahun ini perlu digembleng bersama oleh setiap Ahli Dewan bagi merealisasikan Maju Johor dan digandingkan dengan nilai Keluarga Malaysia perlu diterapkan dalam setiap perkara sepertimana ungkapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, umpama selembar benang dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya. Mahkota mencadangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan rakyat dan masalah dalam kawasan. Yang ini kena dengar betul-betul Yang Berhormat Datuk Speaker. Tak boleh tinggal nanti orang kampung tak bagi saya balik Kluang. Karenah birokrasi hendaklah dipermudahkan selaras dengan amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, peruntukan RM100 juta Bank Rakyat yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk pelbagai bantuan kewangan Mahkota mencadangkan supaya ADUN menjadi orang tengah bagi merealisasikan bantuan pinjaman tanpa faedah yang dibawah kerajaan Johor benar-benar dimanfaatkan.

Mahkota juga memohon kepada PBT, EXCO PBT mana? Wah, angkat tangan, takut juga. Supaya tengok balai-balai raya. (Dewan bertepuk). Kita bagi dia pegang dua tahun hancur berlerai tak dimanfaatkan langsung oleh rakyat. Kembalikan kepada orang yang bertanggungjawab seperti Barisan Nasional.

Menyelenggara kawasan-kawasan dan laluan jalan, laluan di kampung-kampung sekitar DUN Mahkota walaupun dalam kawasan bandar. Tetapi jalan dia satu tak molek, yang kedua rumput lebih tinggi daripada saya, saya bukan pendek sangat tapi rumput tu lebih tinggi. Dalam pada itu, Mahkota juga mohon penambahan lampu jalan. Tak kiralah lampu jalan solar ke apa tapi di kawasan luar bandar harus diberikan. Tanya dengan EXCO Luar Bandar, jangan simpan duit, pakai duit, jangan jadi pemerintah lepas, duit simpan, tak digunakan.

Tahniah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, dapat beras 10 kilo. Masa mula-mula dengar macam kelakar, banyak-banyak barang, beras diberinya. Tetapi rupa-rupanya rakyat memang suka dapat beras ni. Yang pelik tu dia suka, kita ingat macam kelakar saja betul tak, 10 kilo, macam mana kita bagi rumah-rumah PPRT, rupanya orang yang rumah dua tiga buah, kereta pun tertunggu-tunggu tak dapat lambat seminit dah di telefon, mana beras saya tak sampai-sampai. Inilah dia kejayaan Barisan Nasional.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Mahkota, seminit lagi.

Dia orang tak kasi berhenti, saya nak berhenti. Mahkota juga mohon supaya setiap kawasan kampung mesti diselia dengan keceriaan, mesti ada rangkaian Internet dan juga Mahkota mengharapkan supaya PBT berilah sedikit peruntukan khas daripada duit PBT melalui yayasan ataupun apa saja duitlah. Asal beri kepada Ahli Majlis supaya mereka ini berperanan bukan hanya datang duduk dalam mesyuarat Majlis-majlis Perbandaran dan sebagainya. (Dewan bertepuk). Bagi dia orang kalau kita tak sampai, dia sampai dulu, dia gunakan duit itu, ini lampu patah sebiji pun nak cari Wakil Rakyat. Ahli Majlis seolah-olah tidak berperanan. Mahkota juga ingin mencadangkan ada bangunan di Kluang ini, rupanya bukan Kluang saja, banyak tempat juga ada, di Kluang ini ada bangunan tanah kerajaan, bangunan kerajaan tinggi bertingkat, ada empat blok, tapi tak ada guna pakai. Mohon pentadbiran kerajaan negeri siasat perkara ini kalau tak jumpa baru jumpa Mahkota.

Mahkota ingin juga mencadangkan supaya kerajaan negeri teliti kenapa rumah habis dibayar tapi geran tanah masih milik pemaju, apa yang sedang berlaku ni? Selain daripada itu, dulu-dulu zaman allahyarham ayahanda saya, nak buat perumahan mesti buat rumah murah dulu, baru buat rumah besar, tapi hari ini dah berbeza, di mana dasar dan akta itu berada sekarang ini? (Dewan bertepuk).

Akhir kata Yang Berhormat Datuk Speaker...

Timbalan Speaker

Ya saya.

Penyakit COVID-19 telah mula meninggalkan kita. Pada semua EXCO, harap dapat melaksanakan tugas mengikut acuan masing-masing. Marilah kita berkhidmat dengan sepenuhnya dan juga harapan Mahkota kepada penjawat awam, bekerjalah bersama dan hormatilah Government Of The Day, hari ini. Jangan membelakangkan kita, jangan ada perkataan sebut, “YB tak dibenarkan masuk sekolah”. YB bukan nak pergi sekolah, cuma nak bagi peruntukan kepada sekolah. Itu dua perkara yang berbeza Yang Berhormat Datuk.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sembah tari biar bertempat, supaya tidak menjadi umpat, negeri Johor makmur berdaulat, pemimpinnya pula bijak dan hebat. Hajat memancing nak cari lauk, berdayung sampan pergi ke laut, lupa pula membawa sauk, bidok berlalu, kiambang bertaut, dengan ini Mahkota mohon menyokong usul titah Baginda Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Daulat Tuanku, Allah peliharakan Sultan, Maju Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, selesai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, di Dewan ini Ahli-Ahli Yang Berhormat telah berjaya menamatkan sesi perbahasan atas rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, seramai 42 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat telah berjaya menamatkannya. Saya ingin menyampaikan penghargaan dan juga ucapan tahniah kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan berjaya dan kali ini percayalah sebagai seorang yang telah berada 18 tahun dekat dalam Dewan ini, saya nyatakan ini adalah antara Dewan yang terbaik. (Dewan bertepuk).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, syukur alhamdulillah, tadi Mahkota itu dia tak makan durian. Dia kalau makan durian, dia lagi tak boleh berhenti. Alhamdulillah, saya nak terima kasih khususnya kepada Pemanis yang nak bawa baung, bukan untuk makan seorang tapi makan semua. Kepada Bekok, yang dah bawa durian, bukan makan seorang tapi makan semua. Ini kita namakan diplomasi baung dan durian. Dan inilah cantiknya kita. Bukan sekadar kita dapat merasa, sikit dapat dikongsi bersama. Muafakat itu berkat.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya menyatakan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok, Khamis, 23 Jun 2022, jam 9.30 pagi untuk memberi laluan kepada pihak kerajaan membawa perbahasan. Sekian, terima kasih.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.