Johor · 26 June 2022

1st session, 2nd meeting · 185 turns · 16,264 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Soalan LisanQuestions

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya menjemput Yang Berhormat Tiram. Silakan.

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam hari Sabtu, soalan Tiram nombor 1.

Kebanyakan Sekolah Agama Negeri Johor tidak mempunyai kewangan yang kukuh yang menyebabkan banyak perkara yang dilihat tertinggal berbanding dengan sekolah di bawah KPM, apakah kerajaan negeri boleh menambah peruntukan kepada Sekolah Agama Johor supaya mereka berdaya saing?

Speaker

Sila.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya menjawab soalan YB Tiram bagi soalan beliau nombor 1. Sebelum itu saya ambil kesempatan Yang Berhormat Datuk Speaker untuk meraikan kehadiran orang Semerah sebagai pemerhati di dalam Dewan yang mulia pada pagi ini. (Dewan bertepuk).

Kerajaan Johor sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan prasarana rakyat negeri Johor. Begitu juga dalam kebajikan sekolah-sekolah agamanya. Kebajikan kepada mereka sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan penuh interaktif.

Realitinya pengurusan dan pentadbiran Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dilihat lebih baik dan terbela jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah agama di sebahagian negeri-negeri di Malaysia sebagai perbandingan. Ianya dikenali dengan sekolah pendidikan kelas agama fardu ain (KAFA) yang dijalankan di premis-premis seperti masjid, surau, balai raya dan sekolah-sekolah agama rakyat.

Kerajaan Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sentiasa berusaha menyediakan peruntukan kewangan dalam pelbagai bentuk kepada Sekolah Agama Kerajaan Johor pada setiap tahun. Peruntukan ini termasuklah dari aspek pembangunan, peruntukan baik pulih, bekalan perabot, bantuan kewangan badan kebajikan sekolah dan pembersihan kawasan sekolah.

Berikut saya kongsikan beberapa perincian bantuan-bantuan yang telah pun dibekalkan: Pertama, pembangunan prasarana fasa 1 hingga 4 melibatkan pembinaan 96 buah sekolah

yang mana sumbernya kerajaan negeri dan juga Majlis Agama Islam Negeri Johor berjumlah RM256,680,000.00 yang telah pun dilaksanakan.

Kedua, pembangunan prasarana fasa 5 melibatkan pembinaan 30 buah sekolah, sumbernya kerajaan negeri dan juga MAIJ (Majlis Agama Islam Negeri Johor) melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta yang juga telah dilaksanakan.

Ketiga, pembangunan prasarana fasa 6 melibatkan juga 30 buah sekolah, peruntukannya kerajaan negeri dan juga Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM69 juta. Ini dalam tindakan Datuk Speaker.

Peruntukan baik pulih sekolah agama kerajaan Johor, sumber utama Kerajaan Negeri Johor berjumlah RM800,000.00. Ini juga telah dilaksanakan. Bekalan perabot, sumber Majlis Agama Islam Negeri Johor, peruntukannya RM500,000.00 setahun, dalam proses.

Bantuan kewangan badan kebajikan sekolah ataupun di dalam sekolah kebangsaan disebut PIBG, sumbernya Majlis Agama Islam Negeri Johor. Jumlah sebanyak RM1.946 juta telah diluluskan dan telah pun dilaksanakan.

Bagi maksud pembersihan sekolah-sekolah agama bagi gred A, 50 buah berjumlah RM2.5 juta, gred B, 84 buah berjumlah RM4 juta dan bagi sekolah gred C, sebanyak RM400.00 sebuah sekolah bagi tujuan pembersihan.

Sehingga kini, kerajaan akan sentiasa berusaha menambah dan menyalurkan peruntukan berbentuk kebajikan kepada Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor seperti yang telah pun diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor iaitu sumbangan bantuan kebajikan bilik-bilik guru kepada 585 buah Sekolah Agama Negeri Johor berjumlah RM2.9 juta.

Dari aspek pendidikan bilik darjah, kerajaan juga telah menguruskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan Program JPID Al-Bayan dan Pendidikan Abad Ke-21 (PAK21) sebagai usaha untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah agama kerajaan Johor. Sebanyak 20 buah sekolah telah terpilih menjadi perintis di dalam program ini.

Selain itu sumbangan CSR daripada dengan izin, daripada KPRJ berupa smart tv, 40 tablet dan 10 buah... untuk 10 buah sekolah termasuk talian Internet selama 3 tahun sebagai Program Sekolah Bestari yang dijalankan oleh KPRJ dan Bahagian Pendidikan Islam. KPRJ juga melaksanakan program sekolah angkat di Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan sebuah... dengan 10 buah sekolah telah terpilih dengan diberi peruntukan RM1.2 juta untuk aktiviti kecemerlangan murid. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Tiram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas penjelasan itu tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional ini memang cukup memahami nadi denyut rakyat termasuklah dalam bidang pendidikan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker... Yang Berhormat EXCO, soalan tambahan dari saya bagaimanakah cara sekolah-sekolah ini nak membuat permohonan agar permohonan mereka ini mendapat keutamaan dalam memohon peruntukan-peruntukan yang telah dinyatakan tadi? Terima kasih.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Tiram. Soalan yang sangat berkesan pada pagi ini iaitu beliau bertanya tentang bagaimanakah proses-proses permohonan sekolah-sekolah agama boleh dibuat?

Sebenarnya semua proses bagi maksud peruntukan dan juga kebajikan sekolah-sekolah agama ini boleh dibuat kepada Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Walau bagaimanapun Datuk Speaker, saya sangat menghormati Dewan yang mulia dan keberadaan semua Ahli-Ahli Dewan Negeri yang merupakan Wakil Rakyat di kawasan masing-masing, saya sangat gembira jika semua permohonan daripada sekolah-sekolah ini juga boleh mendapat minit ataupun pertimbangan tambahan sokongan daripada ADUN-ADUN kawasan. Ini bagi membolehkan peringkat sekolah ada hubungan baik dengan Wakil-Wakil Rakyat terutamanya sudah pasti Wakil Rakyat Barisan Nasional. Dan tidak juga mengenepikan Wakil Rakyat pembangkang.

Sepanjang sidang Dewan berlaku Datuk Speaker, sudah ramai juga rakan-rakan pembangkang datang berjumpa dengan saya, bahkan bertanyakan juga menyuakan surat-surat bagi maksud permohonan-permohonan. Saya kira inilah lambang keberkesanan Dewan Undangan Negeri Johor yang sentiasa meraikan kewujudan dan keberadaan semua Wakil-Wakil Rakyatnya.

Maka dengan itu Datuk Speaker, akan mengurangkan sebarang peluang untuk mana-mana pihak mempromosikan hasutan bahkan mendesak rakyat turun ke jalan-jalan semata-mata tidak dapat peruntukan. (Dewan bertepuk). Saya kira ini satu pendekatan yang berhemah, yang kami kali ini wujudkan, meraikan keberadaan saudara-saudara di pihak pembangkang. Di dalam masa yang sama, sama-samalah kita menolak sebarang usaha dari mana-mana pihak termasuk juga dari mana-mana parti politik jika mereka mengajak kepada sebarang demonstrasi dan juga boleh mengacau ganggu ketenteraman awam. Terima kasih Datuk Speaker. (Dewan bertepuk).

Speaker

Ha jemput Panti eh.

Bismillahirrahmaanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat EXCO terima kasih atas jawapan yang telah diberikan, cuma dia berkaitan dengan peruntukan sekolah agama negeri ini, kebanyakan isu yang dialami ataupun yang dibawa adalah berkaitan dengan penyelenggaraan contohnya bila pintu rosak ataupun ada kebocoran bumbung dan sebagainya. Dan antara perkara yang saya bangkitkan semasa perbahasan tempoh hari, saya rasa yang saya belum mendapat sebarang maklum balas berkaitan dengan cadangan untuk apa... menukar status tanah bagi tempat-tempat ini kepada apa... tanah wakaf. Itu antara cadangan yang telah dibawa kepada saya dan saya sampaikan di dalam Dewan yang mulia ini. Saya minta pandangan Yang Berhormat EXCO tentang perkara itu dan mungkin jika perkara itu tidak boleh ataupun sukar dilakukan, apakah cadangan lain? Sebab yalah sekolah agama ini antara isu dia memang penyelenggaraan. Terima kasih.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat atas pertanyaan. Berhubung menukar status daripada tanah... syarat-syarat tertentu kepada tanah wakaf, ada prosedur-prosedur yang mesti dipatuhi. Saya percaya permohonan itu sekiranya ada dalam pertimbangan, bolehlah diutarakan untuk dinilai dan dipertimbangkan oleh Bahagian... Jabatan Mufti dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor, sekiranya sesuai untuk ditukarkan hujah kepada maksud syarat penggunaan tanah, tertakluk juga kepada Kanun Tanah Negara yang menjaga dan juga mengawal semua transaksi tanah yang berlaku.

Saya ambil maklum pertanyaan Yang Berhormat bahawa kekangan kewangan memang satu-satunya alasan yang membataskan keseluruhan permohonan diluluskan. Tetapi

komitmen di bawah saya sendiri dan juga barisan EXCO yang lain, sudah tentu terutamanya usaha untuk meningkatkan hasil dan juga pendapatan negeri Johor, mudah-mudahan pada penggal ini kita dapat membantu lebih banyak permohonan-permohonan terutamanya dari segi kebajikan sekolah-sekolah agama ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Terima kasih Semerah. Jangan lupa surat ADUN Rengit ya. Mengkibol bangun nak tanya? Ok, saya benarkan 1 lagi.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, mengenai kedudukan kewangan sekolah agama, kalau mengikut Laporan Ketua Audit Negara yang sidang, yang Dewan ini terima. Pihak Ketua Audit Negara telah buat satu soal selidik kepada pelajar, guru dan ibu bapa, didapati hampir separuh daripada responden mengatakan perabot sekolah adalah tidak mencukupi dan lebih kurang 40% kata adalah sudah rosak. Dan juga kita tengok ulasan, dapati satu pembaziran yang dianggarkan bernilai sebanyak RM663,000.00 pembaziran air berlaku di MAAHAD Johor disebabkan oleh tangki air bocor, yang nyata sejak... sebanyak 4 tahun. Adakah ini berkaitan dengan kedudukan kewangan yang berkekangan? Terima kasih.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat atas pertanyaannya. Isu yang pertama tentang peruntukan bagi perabot sekolah-sekolah agama kerajaan Johor. Saya telah jawab pada sesi yang... hari minggu lepas Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa peruntukan tahunan bagi perabot sekolah agama berjumlah RM500,000.00 dan sehingga tahun ini peruntukan tersebut juga telah habis. Bahkan saya memberikan komitmen untuk melihat semula keperluan menaikkan jumlah peruntukan ini. Sebab sudah pasti macam yang saya sebutkan tadi jumlah peruntukan ini sebanyak mana pun, sudah pasti dia akan kurang mencukupi sebab permintaan sentiasa wujud dan ada. Perabot-perabot yang berusia sudah pasti akan rosak. Jadi keutamaan kepada saya adalah untuk melihat kembali kewangan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan juga berbincang dengan pihak kerajaan negeri untuk menambah peruntukan bagi maksud perabot.

Bagi penyataan tentang kebocoran paip di MAAHAD Johor, ia saya akui ia berada di dalam apa tu Laporan Audit. Tapi apa yang saya suka nyatakan Datuk Speaker, perkara tersebut telah pun diselesaikan dan ini menunjukkan keprihatinan kita untuk menambahbaik pengurusan di sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Sila Sri Medan, saya benarkan.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Di hari terakhir ini saya nak mengambil kesempatan untuk bertanya soalan tambahan kepada rakan saya Yang Berhormat DUN Semerah. Sejarah...

Speaker

Tak boleh pm tepi ke?

(Ketawa). Ini kepentingan negeri. Sejarah sekolah agama di negeri Johor ni sebenarnya dia terlalu panjang. Saya ingat pada tahun 1918 dikenali oleh sekolah al-Quran, lepas tu ditukar kepada sekolah Kitab, kemudian ditukar kepada sekolah agama petang.

Jadi keseluruhan peruntukan, saya ingat hampir 100% adalah daripada kerajaan negeri Johor. Pada tahun 2019, EXCO yang terdahulu pernah mencadangkan agar sejarah Johor dimasukkan dalam apa... dalam silibus untuk sekolah agama dalam negeri Johor. Adakah pihak kerajaan negeri Johor di bawah sekolah agama akan meneruskan usaha ini dengan apa...mungkin dengan sumber kewangan daripada kerajaan negeri untuk kita memperkukuhkan jati diri untuk anak Bangsa Johor. Terima kasih.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat DUN Sri Medan. Soalan yang sangat bagus. Ianya mengingatkan kita kepada keperluan mengisi sejarah dengan pengisian yang sangat baik. Bukan sahaja sejarah itu perlu dibukukan, bahkan sejarah juga perlu diceritakan dengan naratif yang paling baik, membina kewibawaan dan jati diri rakyat itu sendiri, mengalihkan isu kepada sebarang fakta-fakta yang tidak benar, kita akan jauhkannya.

Untuk makluman Dewan yang mulia, setiap semakan bagi silibus Sekolah Agama Kerajaan Johor dibuat dalam tempoh 5 tahun. Yang terakhir adalah pada tahun 2017 dan saya pun telah menjawab pada minggu lepas bahawa semakan yang terbaru akan dibuat pada tahun hadapan 2023. Saya amat menghormati dan juga menghargai cadangan daripada Yang Berhormat Sri Medan dan saya akan mengemukakan untuk sejarah Sekolah Agama Kerajaan Johor ini dimasukkan, dicadangkan untuk dimasukkan dalam silibus yang akan datang. Terima kasih banyak Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ketua Bahagian tanya, Ketua Pemuda Bahagian. Saya jemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.

Apakah tindakan KPM dalam menangani isu capaian internet bagi menyediakan iklim pembelajaran yang kondusif? Kerana kebiasaannya, capaian internet terhad dalam kawasan pejabat dan makmal komputer sahaja.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan soalan tadi, kerajaan negeri Johor sentiasa menyokong dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha-usaha untuk menambah baik capaian talian internet di sekolah. Bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran PDP dan pengurusan dan pentadbiran (PDT) berjalan dengan lancar. Semua 1,190 buah sekolah di negeri Johor dibekalkan talian Internet yang terdiri daripada Unifi, Celcom dan Maxis. Selain tiada had kuoata data Internet. Bagi Celcom dan Maxis, 3 modem dibekalkan ke sekolah yang mempunyai jumlah murid lebih 150 orang. Manakala murid di bawah 150 orang akan dibekalkan 1 modem.

Selain daripada itu juga, Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 76 buah sekolah berstatus pusat tanggungjawab (PTJ), mempunyai talian internet mygovnet bagi memastikan urusan kewangan dapat dilaksanakan dengan lancar. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan capaian talian internet meliputi keseluruhan sekolah supaya dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif, JPN Johor berkolaboratif bersama 3 pembekal talian internet dalam usaha melaksanakan projek rintis perluasan talian internet di 13 buah sekolah pada tahun 2022. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ya. Selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang kami terima tadi. Tahniahlah kepada sekolah-sekolah di negeri Johor kerana kesemuanya telah dapat capaian internet. Tetapi soalan daripada Tangkak adalah untuk kelajuan Internet tersebut sebab kita selalu terima aduan juga daripada pihak sekolah, cikgu, tentang kelajuan dan kestabilan internet tersebut terutama di kawasan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman. Oleh itu, adakah bercadang kerajaan negeri Johor selain daripada

menunggu projek daripada kementerian daripada kerajaan persekutuan? Adakah negeri Johor kerajaan negeri akan menggunakan inisiatif seperti Johor Wifi yang kita sedia ada yang dijalankan oleh kerajaan negeri bagi menambahkan sekurang-kurang hot spot untuk kawasan luar bandar dan juga pedalaman. Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih di atas soalan tambahan itu Yang Berhormat. Selain daripada itu, pihak kerajaan negeri melalui pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyediakan inisiatif bagi meningkatkan capaian Internet di sekolah-sekolah seluruh negara termasuk di negeri Johor melalui Projek Point Of Present (POP) di 50 buah sekolah di negeri Johor yang sedang dalam pelaksanaan pada peringkat fasa 1. Program ini akan menyediakan capaian Internet berkelajuan tinggi melalui penyediaan gentian optik dan akan memberikan manfaat kepada sekolah-sekolah yang terlibat. Menerusi fasa kedua yang akan bermula pada tahun 2023-2025 pula sebanyak 568 buah sekolah yang akan mendapat manfaat menerusi projek ini. Kerajaan negeri dengan kerjasama SKMM dan JPN Johor akan bekerjasama memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Mohon untuk dinyatakan apakah pelan kerajaan untuk memperbaiki dan menambah jumlah tempat letak kereta di Hospital Sultan Ismail?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker, salam perpaduan, salam sihat Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang pertamanya saya ingin ucap terima kasih kepada YB Puteri Wangsa kerana mengemukakan soalan-soalan secara berkhemah bukan mengajak untuk berdemontrasi di jalan bertanya soalan kepada saya, terima kasih. Untuk makluman Yang Berhormat Puteri Wangsa dan seisi Dewan sekalian, kerajaan negeri memang peka dan prihatin terhadap isu-isu parking di hospital-hospital terutamanya di negeri Johor. Terumatanya di daerah Johor Bahru, saya juga telah melawat ke HSI dua kali di mana lawatan saya pertama pada 11 April bersama dengan YB Puteri Wangsa dan juga pada 5 Jun saya turut melawat secara tidak rasmi. Pihak Hospital Sultan Ismail Johor Bahru akan sentiasa berkerjasama dengan pihak syarikat konsesinya Medivest Sdn. Bhd. untuk mempergiatkan kerja-kerja memperbaiki lubang ataupun road patching dengan izin, pada permukaan tempat letak kenderaan. Selepas lawatan saya pada 5 Jun 2022, kerja-kerja penurapan di tempat letak kenderaan telah dilakukan pada 10 Jun 2022 dan 24 Jun 2022. Di samping itu, pihak hospital juga sedang dalam proses untuk mengenal pasti kawasan-kawasan lain di dalam kawasan hospital yang sesuai untuk menambah dan membangunkan 70 lot lagi tempat letak kenderaan bagi mengurangkan kesesakan. Tambahan pula perkhidmatan Bas Muafakat Johor sedang beroperasi dan perkhidmatan shuttle bus ke HSI sedang di rancang dan masih dalam tahap perbincangan bagi mengurangkan kesesakan tempat letak kereta di HSI. Untuk makluman seisi Dewan, sepertimana yang dinyatakan di ucapan penggulungan saya, Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan sentiasa berusaha dan menambah baik fasiliti kesihatan di negeri Johor dari masa ke semasa. Sekian, terima kasih.

Speaker

Di Malaysia ini Yang Berhormat Yong Peng, pelik sikit. Kereta lebih banyak daripada manusia. Di New Zealand, lebih banyak kambing daripada manusia. There more sheeps than human. Ya, dengan izin. Sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya kepada YB EXCO sekiranya kerajaan negeri ada apa-apa

rancangan untuk memohon daripada kerajaan persekutuan untuk bina juga tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sultan Ismail memandangkan HSI ini bukan sahaja hospital yang penting untuk negeri Johor semata-mata tetapi juga ia merupakan pusat Onkologi utama bahagian selatan negara. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Puteri Wangsa di atas soalan tambahannya. Ok, memang kita menghadapi kesesakan ataupun kekurangan tempat letak kenderaan bukan sahaja HSI banyak juga hospital yang menghadapi masalah yang sama. Dan kalau mengikut rancangan yang panjang memang kita akan sentiasa peka dan sentiasa berbincang dengan pihak KKM supaya kita dapat rancangan yang lebih elok ataupun rancangan ataupun peruntukan yang lebih besar, supaya kita dapat menyediakan infrastruktur yang lebih baik. Dan untuk buat masa kini, untuk jangka masa pendek dan jangka masa sederhana kita akan mencadangkan supaya kepada pihak hospital supaya pihak kerajaan negeri dapat membantu mereka daripada mungkin peruntukan yang tidak begitu besar kita buat secara berperingkat. Seperti kata daripada jawapan saya tadi, kita mungkin bantu mereka untuk menambah daripada segi dengan jumlah tempat letak kenderaan bukan sekadar besar, tetapi mengikut kemampuan Kerajaan Negeri Johor. Itu sahaja, sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya soalan ke-4. Terima kasih.

Nyatakan langkah kerajaan untuk menyelesaikan isu penyelenggaraan lif dan kemudahan awam di Blok Panglima A, Pangsapuri Bukit Saujana.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Pangsapuri Bukit Saujana merupakan projek penswastaan yang dimajukan di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor iaitu SSI oleh pemaju ASM Development Sdn. Bhd. yang telah siap dan sedia di duduki pada 28 Februari 2001, 20 tahun yang lepas. Pangsapuri Bukit Saujana yang terdiri daripada 8 blok pangsapuri, 1,580 unit rumah dan 43 unit kedai. Selanjutnya, pada tahun 2009 Blok Seri Bendahara A, B dan Blok Seri Pahlawan C telah menubuhkan badan pengurusan bersama iaitu JMB. Oleh itu, skop kontrak pihak CMSB yakni kontraktor yang dilantik oleh ASM telah diubah di mana pihak kontraktor hanya akan menyelenggara 5 blok berbaki iaitu Blok Seri Panglima A, B, C dan Pahlawan A, B. Pihak perbadanan pengurusan MC dan badan pengurusan bersama JMB bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengurus dan menyelenggara kawasan pembangunan mengikut skim serata.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri telah melakukan proses baik pulih di Pangsapuri Bukit Saujana dan proses ini terbahagi kepada 3 fasa. Dua fasa baik pulih telah diselesaikan di mana melibatkan perbelanjaan sebanyak RM23,987,000.00. Status baik pulih untuk fasa yang terkini, fasa 3 pihak kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.1 juta lagi bagi melaksanakan baik pulih fasa 3. Namun, baru-baru ini dalam lawatan saya dan pejabat EXCO Kerajaan Tempatan mendapati beberapa isu dikemukakan oleh pihak JMB. Antaranya adalah kutipan fee pengurusan dan penyelenggaraan yang diterima dari penduduk di bawah 50%. Dengan bayaran RM100.00 sebulan. Ini bermakna penduduk-penduduk di sana hanya 50% sahaja yang bayar. Perkara ini menyebabkan pihak pengurusan iaitu jawatankuasa penduduk tidak mempunyai cukup dana untuk menjalankan proses baik pulih infrastruktur utama yang telah rosak. Terima kasih.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Datuk EXCO. Saya ada 2 soalan. Satu ialah adakah kerajaan negeri bersedia untuk membaik pulih unit-unit di tingkat 9 dan tingkat 10 Pangsapuri Panglima A yang dimiliki oleh SUK? Unit-unit itu telah rosak dan tidak di duduki dan saya rasa kalau kerajaan negeri bersedia untuk baik pulih dia akan tambah unit untuk pekerja awam untuk bermastautin di sana. Kedua ialah dalam keadaan yang saya difahamkan, bolehkah kerajaan negeri bersedia untuk membaik pulih lif di Panglima A? Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Sebelum saya hendak menjawab soalan ini, suka saya hendak beritahu video YB itu, berkenaan dengan masa lawatan YB ke Saujana yang melibatkan statement berdekatan dengan rumah Yang Amat Berhormat Menteri Besar adalah satu statement yang tidak bertangunggjawab ya.

Ok, ok untuk makluman Yang Berhormat dan Datuk Speaker, sebenarnya jumlah keseluruhan unit kosong di Saujana ini adalah 155. Ok, SSI memiliki dalam 70 sahaja. SSI, pemaju penthouse maksudnya pemaju asal ada 8 unit. Maksudnya penthouse ini yang sebelah atas semua. Lepas itu, individu maksudnya individu sendiri pun ada dalam 77 unit lah. Lebih kurang dalam 50%. Jadi, di peringkat SSI kita ada perancanganlah untuk buat baik pulih tetapi kita hendak melihat dari segi kos dia sama ada baik pulih ini worth it tak dengan izin, untuk kita belanja banyak untuk baiki daripada kita membina satu rumah yang lain. Jadi, untuk menjawab soalan kedua, seperti saya menjawab pada peruntukan tadi, fasa 1. Fasa 1 di peringkat kerajaan pada 3 Disember 2008 kerajaan dah beri peruntukan untuk Saujana ini RM8.9 juta. Lepas itu fasa yang kedua, pada tahun 2015, lebih kurang RM15 juta kebanyakan semuanya lif. Dan untuk fasa 3 Yang Berhormat tanya tadi ialah RM10.1 juta lagi. Yang ni jugak melibatkan mengecat dan jugak liflah, jadi suka saya nak maklumkan pada Dewan yang mulia ini dan Datuk Speaker isu tentang flat-flat di seluruh Johor khasnya di bandar raya sahaja melibatkan 3 bandar raya, lebih kurang ada 130 projek dan kebanyakan 130 projek ini adalah mereka ada jawatankuasa penduduk mereka sendiri. Dan di mana setiap pembeli atau pemilik rumah itu dia akan membayar fees sama ada RM50.00, RM70.00 atau RM100.00 kepada jawatankuasa yang mereka pilih sendiri. Dan jawatankuasa ini dia ada Akta dan Undang-Undang dia sendiri, senang kata ada pembeli, apa penghuni tak bayar jadi dia boleh mengambil tindakan tidak membolehkan masuk ke dalam blok dan sebagainya.

Dan isu ini melibatkan isu yang kompleks juga Datuk Speaker, sebab dia melibatkan peruntukan yang sangat banyak. Contoh di Saujana ini hanya sekitar ada 1,500 pemilik tapi kerajaan telah belanja RM23 juta campur lagi RM10 juta dekat RM33 juta untuk satu tempat sahaja. Ini belum kira lagi 129 di lokasi yang lain, terima kasih

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, terlebih dahulu saya, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada Pegawai Khas ADUN Layang-Layang, Ahli Majlis Daerah Simpang Rengam dan Bendahari Pemuda UMNO Bahagian Simpang Rengam. Ada ke? Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Penggaram, maafkan saya.

Puan Gan Peck HengDAP · PHPenggaram

Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Projek pembinaan jalan penghubung antara Jalan Tanjung Labuh – Jalan Kluang melalui Kampung Rahmat dijangka awal siap pada tahun 2020. Apakah status projek pembinaan jalan ini dan mengapa ia tertangguh terlalu lama, serta bilakah jangkaan ia siap sepenuhnya untuk pengguna.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Penggaram. Projek yang

dinyatakan oleh Yang Berhormat Penggaram telah mengalami kelewatan, sebanyak 263 hari dan notis pertama untuk tujuan penamatan kontrak telah dikeluarkan pada 29 Julai 2021. Projek ini sedang dalam pembinaan dan dalam tempoh berdenda. JKR dalam proses mengikut tatacara kontrak untuk proses penamatan kerja kontraktor atas sebab pihak kontraktor tiada lagi upaya meneruskan projek disebabkan aliran tunai dan mengalami kekurangan pekerja di tapak bagi semua disiplin.

Satu mesyuarat hala tuju pelaksanaan projek telah pun diadakan pada 31 Mei 2022 dan telah memutuskan projek ini ditamatkan dan notis akan dikeluarkan pada minggu ini dan akan berkuatkuasa 2 minggu akan datang. Peratus siap Yang Berhormat untuk projek di tapak ialah 98.6%, sikit lagi. Sekian terima kasih.

Puan Gan Peck HengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya, sebab Jalan Kampung Rahmat ini merupakan satu jalan perhubung antara Jalan Kluang dengan Sri Gading dengan Tanjung Labuh. Jadi ini adalah satu jalan yang penting kepada daerah Batu Pahat. Di sini Penggaram nak tahu, kerja-kerja apa yang masih belum siap dan bila dia dijangka akan siap dan apakah tindakan tadi ada beritahu tindakan akan diambil terhadap kontraktor dan di sini Penggaram ingin tahu berapa kos keseluruhan projek ini dan kos tambahan?

Speaker

Apa pun tahniah Bukit Pasir sebab sudah mengeluarkan notis.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Penggaram. Untuk makluman Yang Berhormat Penggaram seperti yang saya sebutkan tadi peratus siap kerja di tapak ialah 98.6% sikit lagi kerja-kerja yang tinggal iaitu kerja-kerja penyelenggaraan, bersih rumput dan kerja longkang.

Walau bagaimanapun, disebabkan projek ini dalam keadaan berdenda jadi pihak kontraktor pun tak mampu nak menyelesaikan projek ini. Projek ini keseluruhannya bernilai RM27,898,824.52. Insya-Allah, Yang Berhormat Penggaram dan Ahli Dewan semua, JKR telah pun mengeluarkan notis pada minggu ini, insya-Allah dan kita pun telah buat pelan pengurusan trafik bagi memastikan keselamatan pengguna di tapak dan seperti yang saya maklumkan tadi JKR akan selesaikan kerja ini selepas tamat kita akan buka semula kerja ini dan untuk kos peningkatan itu kita akan kaji selepas ini.

Kita tak boleh ambil proportionate dengan izin, kos apa itu baki yang tinggal sebab kerja nak siapkan kerja baru ni dia ada pertambahan kos siling dan kos ini akan dikaji baliklah oleh pihak JKR sebaik sahaja notis tamat 2 minggu yang akan datang. Untuk makluman semua kita memang beri komitmen kepada projek-projek untuk disiapkan. Kita tak naklah jadi macam seorang tu sampai kes rayuan mahkamah tarik balik lepas tu sampai kita kehilangan kedaulatan ke atas Batu Putih. Jadi kita nak kerja biar sampai selesai, insya-Allah itu sahaja, terima kasih.

Speaker

Saya sudah melawat ke tempat ini Yang Berhormat Bukit Pasir 2 minggu lepas, jadi tahniahlah senarai hitamkan sajalah kontraktor tersebut. Terima kasih Yang Berhormat, saya jemput Bukit Batu.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Dalam makluman Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bukit Batu soalan nombor 6, terima kasih.

Apakah inisiatif kerajaan negeri Johor bagi menarik golongan pelabur dalam kalangan pengusaha industri berkaitan pusat data dan pengkomputeran awam dan membekalkan peluang pekerjaan bagi warga tempatan di “The Sedenak Tech Park (SteP)” dahulunya dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX)?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker. Yang Berhormat Bukit Batu seperti mana yang telah pun dinyatakan, kerajaan negeri terus komited dan konsisten untuk melaksanakan berbagai inisiatif dalam usaha menarik pelaburan baharu masuk ke negeri Johor dan ia termasuklah golongan pelabur dari sektor berteknologi seperti pusat data dan pengkomputeran awam. Bagi makluman awal, bagi makluman Bukit Batu dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Sedenak Tech Park (SteP) yang dahulunya dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) adalah sebuah projek yang dibangunkan oleh (TPM) Technopark Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat Johor Corporation bagi menarik pembangunan pusat data yang meliputi kawasan seluas 745 ekar persegi.

Lokasi pembangunan ini telah dikenal pasti selamat dan dilengkapi dengan sumber tenaga serta air yang mencukupi selaras dengan keperluan bagi menampung pengoperasian sebuah pusat data bertaraf antarabangsa. Sedenak Techpark telah mendapat sokongan penuh daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysaia (MDEC) yang merupakan agensi utama negara bagi memacu pembangunan ICT dan ekonomi digital, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA).

Kerajaan negeri menerusi Invest Johor akan terus bekerjasama dengan pihak Sedenak Techpark, MDEC, MIDA dan IRDA dengan menawarkan khidmat nasihat fasiliti serta sokongan kepada prospek pelabur yang juga merupakan bakal penghuni taman perindustrian tersebut. Ianya termasuk panduan penubuhan projek, kelulusan lesen, perkhidmatan Internet, penyesuaian kilang, insentif kerajaan serta jalinan hubungan bersama organisasi ataupun pertubuhan perniagaan tempatan dan juga asing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri menerusi Invest Johor terus bergiat aktif dalam mempromosikan Sedenak Techpark sebagai hab pusat data di negeri Johor mahu pun negara. Usaha-usaha promosi ini dilaksanakan ketika menjalankan misi pelaburan dan perdagangan ke luar negara bhagi menarik pelaburan baharu ke Sedewnak Techpark secara khususnya dan negeri secara amnya. Dengan peningkatan nilai serta jumlah pelaburan yang baharu ke Sedenak Techpark ia bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan pendapatan kerajaan negeri dari sudut kutipan cukai malah ia juga akan mengujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam industri data selain limpahan ekonomi yang dapat dinikmati oleh masyarakat setempat. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Soalan tambahan saya. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya kepada YB EXCO adalah berapakah bilangan syarikat tempatan yang telah ditubuhkan dan sudah menjalankan operasi di Sedenak Techpark, terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Datuk Speaker, setakat ini sebanyak 3 syarikat telah pun beroperasi di Sedenak Techpark iaitu DNY Textile, sebuah pusat data dan juga sebuah cafe. Dan, pihak Sedenak Techpark sedang giat berusaha untuk membangunkan membantu pelabur baharu untuk 3 buah pusat data baharu iaitu projek blue, projek My06 dan projek Jupiter. Saya tidak dapat mendedahkan maklumat secara terperinci pada peringkat ini sebab pihak JCorp mempunyai non disclosure aggreement projek dengan pengusaha-pengusaha tersebut.

Tapi untuk makluman Yang Berhormat jumlah pelaburan yang kita sasarkan adalah sebanyak RM11 bilion untuk Sedenak Techpark dan jumlah pekerjaan, peluang pekerjaan yang kita sasarkan yang dapat diwujudkan di Sedenak Techpark adalah kira-kira 7,800 peluang pekerjaan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.

Ketika rakyat sedang mengharungi pasca COVID-19, adakah Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat kajian semula untuk kelayakan/kriteria untuk memohon bantuan JKM?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Soalan daripada Yang Berhormat Pasir Raja adalah ketika rakyat sedang mengharungi pasca COVID-19 adakah Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat kajian semula untuk kelayakan atau kriteria untuk memohon bantuan dari JKM. Menjawab soalan tersebut Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa prihatin terhadap situasi ekonomi rakyat Johor yang sedang mengharungi pasca COVID-19.

Justeru bagi membolehkan lebih ramai rakyat yang berkeperluan dapat dibantu melalui bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat syarat permohonan bantuan kewangan JKM telah dinaikkan daripada RM960.00 sebulan kepada RM1,169.00 sebulan. Manakala PJK makanan perkapita sebanyak RM310.00 juga telah diguna pakai mulai Julai 2021, bagi kes yang berkesesuaian khususnya yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

Yang Berhormat Datuk Speaker terdapat satu lagi kajian semula yang telah dilaksanakan oleh JKM di mana mulai 1 Januari 2021 kadar bantuan kewangan bulanan JKM juga telah dinaikkan memandangkan kos sara hidup kini telah meningkat. Kenaikan kadar bantuan yang telah dinaikkan adalah bagi Bantuan Warga Emas daripada RM350.00 sebulan kepada RM500.00 sebulan. Bantuan Elaun Pekerja OKU daripada RM400.00 kepada RM450.00 sebulan. Bantuan OKU yang tidak berupaya bekerja daripada RM250.00 kepada RM300.00 sebulan.

Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar daripada RM350.00 kepada RM500.00 sebulan dan Bantuan Kanak-Kanak daripada maksimum RM450.00 kepada maksimum RM1,000.00 sebulan. Saya kongsikan sekarang Datuk Speaker perincian kenaikan kadar baru bantuan JKM seperti berikut: Bantuan kanak-kanak kadar sedia ada RM100.00 hingga RM450.00 kadar baru mulai 2021 RM150.00 ke RM1,000.00. Bantuan Orang Tua RM350.00 ke RM500.00 Elaun Pekerja Cacat dari RM400.00 kepada RM450.00 Bantuan OKU tidak berupaya bekerja adalah daripada RM250.00 kepada RM300.00, Bantuan OKU Terlantar Sakit Kronik sebelum ni RM350.00 ke RM500.00. Terima kasih Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Sila.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO telah menjawab dengan baik. Soalan tambahan saya adalah sebelum ini pihak JKM mewajibkan penerima OKU JKM untuk memperbaharui permohonan mereka pada setiap tahun bagi meneruskan bantuan. Soalan saya apakah pihak JKM boleh menyelaraskan atau memudahkan kepada penerima bantuan

yang mengalami kecacatan kekal agar mereka ini tidak membuat permohonan setiap tahun sebab kita tahu kadang-kadang yang cacat kekal ini mereka mempunyai banyak permasalahan sekiranya nak memperbaharui borang. Ada yang tak pandai menulis, ada yang mempunyai kekangan lain, jadi adakah satu kewajaran bolehkah bagi pihak JKM untuk tidak bagi mereka menyempurnakan ataupun bagi mereka memudahcarakan OKU kekal ini. Sekian terima kasih…

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Satu soalan yang sangat baik. Menjawab soalan tersebut, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan bantuan kebajikan mengikut garis panduan Pengurusan Bantuan Kewangan JKM yang telah dikeluarkan pada tahun 2018. Mengikut garis panduan tersebut, kelulusan bantuan adalah selama 12 bulan dan kaji semula hendaklah dibuat 2 bulan sebelum kelulusan bantuan itu tamat. Tujuannya, tujuan kaji semula tersebut adalah bagi mengemaskini status terkini penerima bantuan sebelum menentukan kelulusan pelanjutan bantuan dibuat. Penamatan kelulusan bantuan akan dibuat bagi penerima bantuan yang telah melepasi syarat kelayakan bantuan seperti berpindah ke negeri lain dengan pendapatan melebihi kadar PGK yang ditetapkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Pasir Raja, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan satu cadangan pengecualian kaji semula bagi penerima skim Bantuan OKU, Pesakit Terlantar, Bantuan Warga Emas dan Bantuan OKU Yang Tidak Berupaya Bekerja dan cadangan ini adalah selaras dengan pendapat YB Pasir Raja bahawa supaya bantuan itu, yang menerima, penerima bantuan yang mengalami cacat akal tidak perlu memperbaharui kelulusan bantuan mereka. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya saya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan Tangkak adalah mengenai dengan permohonan baru untuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu pemohon selalu perlu menunggu mengambil masa yang lama untuk menunggu keputusan ataupun mendapat maklum balas terhadap permohonan tersebut, ada yang tunggu sehingga lebih daripada 3 bulan. Jadi apakah tindakan yang akan dimbil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya prosedur permohonan baru ini dapat dipercepatkan? Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Tangkak, untuk makluman Yang Berhormat Tangkak bahawa Pejabat Kebajikan Masyarakat ini sentiasa mengambil berat terutama kepada permohonan-permohonan bantuan kebajikan masyarakat. Soalan itu sangat diambil berat dan saya fikir selepas ini kita akan membuat kajian atau membuat satu kelulusan yang lebih cepat untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.

Minta dinyatakan apakah perancangan kerajaan negeri dalam membantu memperkasa penternak-penternak kecil yang tidak pernah mendapat bantuan kerajaan terutama bagi memastikan jaminan bekalan makanan di negeri Johor.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

selamat pagi, selamat Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja atas soalan nombor 8.

Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha, aktiviti penternakan walaupun dijalankan secara kecil-kecilan. Penternak-penternak kecil adalah digalakkan untuk mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan boleh memohon apa jua jenis bantuan yang ditawarkan dari masa ke semasa. Penternak kecil yang belum pernah menerima sebarang bantuan akan diberikan keutamaan sekiranya layak dan mengikut keperluan serta kesesuaian dengan projek yang dijalankan.

Selain itu, penternak yang kecil dan baru yang telah mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, boleh memohon untuk mendapatkan khidmat bimbingan daripada Jabatan secara percuma serta boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan ternakan. Pemohon juga digalakkan untuk mengikuti kursus dan latihan dalam bidang ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.

Kursus dan latihan yang diberikan ini adalah salah satu elemen yang penting bagi memastikan pengusaha diberi bimbingan, pengetahuan dan menerima maklumat yang tepat berkaitan pengusahaan ternakan.

Untuk makluman Ahli Dewan, sepanjang tahun 2021 Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menjalankan 8 kursus meliputi kursus pengurusan ternakan yang melibatkan seramai 780 peserta dan hampir 70% daripada keseluruhan adalah penternak kecil.

Bagi tahun 2022, sebanyak 7 kursus asas pengurusan ternakan juga telah diadakan dengan melibatkan seramai 360 peserta. Manakala seramai 22, manakala sebanyak 22 kursus lagi telah dirancang dan akan dijalankan dengan sasaran penglibatkan 1,640 peserta. Terdapat juga kursus in-situ yang akan diadakan di peringkat lapangan bersama pengusaha-pengusaha di setiap daerah. Dan peserta berpeluang untuk mempelajari teknik-teknik pengurusan secara lebih berkesan melalui latihan yang dibuat.

Bagi membantu penternak kecil di Johor juga, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor berperanan dalam memperkasa aktiviti penternakan dijalankan. Pada tahun ini, LPP akan menyalurkan peruntukan di bawah program agro-Perantis dan geran pemadanan usahawan peladang atau Rise Up.

Program agro-Perantis yang libatkan 5 orang penternak biri-biri dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00. Manakala bagi program pemadanan usahawan peladang, melibatkan 6 orang penternak kambing, lembu dan rusa dengan peruntukan sebanyak RM215,000.00. Sekian.

Speaker

Sila.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih jawapan Yang Berhormat EXCO di atas usaha-usaha melalui agensi-agensi. Soalan saya apakah perancangan ataupun inisiatif daripada khas kerajaan negeri misalnya peruntukan pengumuman tambahan inisiatif khas untuk penternak-penternak kecil ini? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang paling utama ialah penternak-penternak kecil ini harus mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar kerana jika tidak mendaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, rekod mereka tidak ada di Jabatan dan sukar untuk Jabatan untuk memberikan sebarang bantuan kepada mereka.

Dan menjawab kepada soalan Parit Raja tadi, berkenaan dengan usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan untuk penternak-penternak ini, saya nak menjurus kepada penternak belia kerana saya fikir kebanyakan penternak baru adalah penternakan belia.

Pada tahun 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor telah diperuntukkan pembangunan khusus kepada belia iaitu Program Transformasi Belia Ternak yang telah diluluskan sebanyak RM656,000.00 melibatkan seramai 87 orang belia, telah diberikan peruntukan, bantuan berupa peralatan ladang, menambahbaik infra premis dan penggunaan teknologi. Bantuan ini bertujuan membantu kumpulan belia ternak, meningkatkan pengeluaran hasil ladang dan produk industri asas ternakan, tahap kesihatan ternakan serta tahap biosekuriti ladang dan premis ditingkatkan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor sentiasa mengambil usaha dan langkah positif bagi memastikan kumpulan belia ternak ini diberi bimbingan serta khidmat nasihat secara berterusan melalui pelaksanaan program pengembangan veterinar.

Pada tahun 2022 pula, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM365,000.00 bagi Program Transformasi Belia Ternak. Bantuan yang disalurkan melalui program ini adalah seperti pasung alih, pagar letrik, pam air dan bahan binaan kandang yang bernilai RM325,000.00 melibatkan seramai 40 penerima. Manakala jumlah RM40,000.00 pula diperuntukkan bagi pembangunan modal insan bagi menjayakan 6 kursus dan bengkel iaitu kursus keusahawanan berkonsep training, coaching dan facilities, kursus pemasaran secara digital, kursus asas perniagaan dan kursus persijilan. Pelaksanaan kursus akan memberi manfaat kepada 450 penternak muda.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sementara itu saya ingin memberikan maklumat sedikit kepada YB Parit Raja berkenaan bantuan yang diberikan kepada usahawan kecil di kawasan Parit Raja. Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, terdapat seramai 155 usahawan ternak yang aktif menjalankan aktiviti penternakan di DUN Parit Raja. Dia boleh dibahagikan kepada beberapa bidang usahawan... usaha iaitu 89 orang... usahawan pengusaha lembu, 40 pengusaha kambing, 23 orang pengusaha ayam dan 5 orang pengusaha menjalankan aktiviti pemprosesan produk industri asas ternakan.

Pada tahun 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor telah menyalurkan bantuan kepada 2 orang usahawan di DUN Parit Raja bagi Program Transformasi Belia Ternak. Seorang pengusaha telah diberi bantuan berupa peralatan dan biosekuriti ladang. Nama-nama saya akan berikan kepada Yang Berhormat jika perlu.

Selain itu, sepanjang tahun 2021 juga seramai 3 orang pengusaha telah diberikan bimbingan secara berterusan melalui program pengembangan veterinar. Dan nama-nama juga saya boleh beri kepada Yang Berhormat jika perlu. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Tuan Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Pengurusan sampah domestik, industri dan sisa binaan. Kawasan pelupusan yang jauh dan kos yang tinggi menyebabkan wujud kawasan pelupusan sampah haram dan berlakunya kebakaran. Apakah perancangan kerajaan dalam menyediakan sistem dan teknologi pelupusan sampah supaya dapat diuruskan secara berkesan dan lestari?

Speaker

Ini soalan disimpan sejak 18 tahun yang lalu. Yang Berhormat Kota Iskandar ni dia ada stok soalan dalam peti besi. (Dewan ketawa).

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam Maju Johor, salam Bangsa Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Akta 672 Tahun 2011, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah tanggungjawab Solid Western Corporation atau SWCorp. Oleh itu, segala urusan berkaitan dengan penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal akan dipantau dan disediakan oleh SWCorp serta dikawal selia oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara atau JPSPN.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang untuk membina stesen pemindahan di lokasi yang strategik. Fasiliti ini berfungsi sebagai pusat transit sisa pepejal sebelum dilupuskan dan dirawat di fasiliti yang berbeza. Salah satu pusat transit sisa pepejal yang sedang dibina adalah di Pekan Nanas, Pontian.

Selain itu, untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan juga telah memperkenalkan fasiliti rawatan pepejal berkonsepkan waste to energy atau WTE di mana ia merupakan satu loji yang menguruskan dan merawat sisa pepejal atau sisa buangan untuk menghasilkan tenaga seperti elektrik, haba dan bahan api kenderaan. Melalui teknologi ini sekali gus dapat membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sedia ada.

Selain itu selain mengurangkan persaingan guna tanah, pelaksanaan projek WTE ini akan dijalankan di tapak pelupusan sampah TPS Bukit Payung, Batu Pahat dan tapak pelupusan sampah TPS Tanjung Langsat, Pasir Gudang. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Kota Iskandar.

Tuan Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker mengingatkan saya menunggu sampai 18 tahun. Begitu juga dalam pengurusan sampah ini Datuk Speaker. Di kawasan DUN Kota Iskandar Datuk Speaker, ada 1 PBT yang besar iya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Beberapa kali Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, berlaku kebakaran oleh kerana sikap mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ataupun membuat pembakaran terbuka.

Soalan saya Datuk Speaker, di kawasan berhampiran dengan ini kita ada kawasan red zone. Red zone ni mungkin Datuk EXCO akan menjelaskan apa itu red zone. Dia selalu menyebabkan kebakaran terbuka eh... di Tanjung Adang, di kampung Pekajang dan baru-baru ini di Nusa Idaman. Kita kasihan dengan anggota Bomba terpaksa bermalam sampai 2 minggu.

Soalan saya Datuk Speaker, adakah perancangan kerajaan melalui Kerajaan Tempatan khususnya Datuk EXCO memikirkan ada 1 kawasan pelupusan sampah yang bertaraf teknologi tinggi dan lestari diadakan di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Kerana Majlis Bandaraya Iskandar Puteri ini projek pembangunannya begitu pesat daripada PTP, daripada, sampailah ke Jalan Pontian. Jadi itu soalan saya. Adakah perancangan bagi pihak EXCO untuk mengadakan satu pusat pelupusan sampah untuk mengatasi masalah yang saya nyatakan tadi. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih YB Kota Iskandar. Setakat ini belum ada. Cuma yang terdekat ialah di Tapak Pelupusan Sanitasi Seelong dan Tapak Pelupusan Tanjung Langsat, ini di Pasir Gudang.

Untuk makluman Dewan yang mulia, saya hendak maklumkan sedikit tentang, nak kongsi sedikit bahawa di peringkat data SWCorp jumlah tapak pelupusan sampah yang di kesan pada tahun 2021 sebanyak 209 lokasi. Ini tapak pelupusan sampah haram yang kita ambil tindakan. Dan sehingga Jun 2022, ada 183 lokasi. Jadi, ini menjurus juga di mana, tentang pendidikan rakyat kita khasnya untuk mengambil berat tentang isu sampah ini. Bagaimana tangunggjawab kita sebagai seorang rakyat boleh menjaga secara bersama untuk atasi masalah ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Permas.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan YB Iskandar Puteri tadi adakah teknologi yang baru untuk kita menyelesaikan tempat pelupusan sampah yang seperti mana yang ada di Pasir Gudang, di Tanjung Langsat. Jadi, kalau ada teknologi-teknologi baru ini perlu dipercepatkanlah untuk mengatasi masalah yang telah lama berlanjutan hingga ia menganggu keselesaan orang ramai. Jadi, saya harap supaya kerajaan dapat mencari satu teknologi yang baru seperti waste to energy atau sebagainya dengan izin, untuk dilaksanakan dengan cepat.

Speaker

Ya, sila.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Seperti jawapan saya dalam soalan tadi bahawa setuju, kita setuju diperingkat kerajaan membuat fasiliti rawatan sisa pepejal berkonsepkan waste to energy lah. Jadi, ini akan dilaksanakan di tapak pelupusan sampah di TPS Bukit Payung dan TPS Tanjung Langsat, Pasir Gudang. Di samping itu, mungkin saya boleh tambah kerajaan juga dalam tindakan untuk mewujudkan sistem teknologi cerapan slap atau drone khas. Sistem tersebut telah dibangunkan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di mana tujuannya membantu mengesan lebih awal kawasan berpotensi untuk dijadikan lokasi pelupusan sampah, pelupusan sisa dan mencegah kewujudan tapak pelupusan haram. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Yang Berhormat, Yang Berhormat...

Speaker

Saya dah jemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.

Apakah status program pengagihan kit ujian kendiri COVID-19 kepada isi rumah yang memerlukan di setiap YB ADUN mengikut perancangan pada Belanjawan 2022?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih YB Bentayan. Salam perpaduan, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Untuk makluman Datuk Speaker dan YB Bentayan dan juga seisi Dewan sekalian, semasa Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan pada penghujung tahun 2021, pada ketika itu pandemik COVID-19 masih belum menunjuk tanda-tanda penghujung. Dengan berkat kepimpinan mantan Menteri Besar kita, Yang Berhormat Benut dan kerajaan persekutuan serta kerjasama seluruh bangsa Johor yang mematuhi SOP yang ditetapkan. Akhirnya, kita semua sudah berada di dalam fasa endamik. Dari 1 April 2022 dan Standard Operating Procedure dengan izin, SOP pengujian COVID-19 yang ditekankan kini ada pengujian individu yang bergejala sahaja.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri setelah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengambil keputusan bahawa program pengagihan test kit tidak lagi sesuai dan relevant untuk dijalankan pada masa kini. Kerajaan negeri tengah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk merancang inisiatif kesihatan yang lebih berkesusaian dan kos efektif demi kebaikan Bangsa Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih kepada YB EXCO atas jawapan soalan. Baru-baru ini Menteri Kesihatan telah mengumumkan bahawa Malaysia di jangka akan menghadapi gelombang baru COVID-19 lebih awal berbanding tempoh 2 atau 3 bulan lebih awal. Jadi, saya hendak tahukah, apakah persediaan kerajaan negeri Johor kan untuk akan dilakukan untuk menghadapinya. Sekian, terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok, terima kasih soalan tambahan daripada YB Bentayan. Ya, memang Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia telah membuat kenyataan bahawa kemungkinan besar kita akan menghadapi satu gelombang lagi penularan COVID-19, mungkin pada awalnya dijangka mungkin 2 bulan atau 3 bulan yang akan datang. Tetapi semalam pula ada kenyataan bahawa kemungkinan di awalkan lagi. Tetapi bagi persiap jagaan bagi Jabatan Kesihatan Negeri Johor kami dah ada pengalaman untuk menghadapi penularan COVID-19 dan semua hospital juga telah bersiapsiaga dan katil ataupun persiapan semua sedang, kita mengikut SOP yang sebelumnya kita dah persiapsiagaan untuk keadaan, untuk menjaga SOP nya dan juga katil-katil dalam hospital telah kami sediakan. Dan, jumlah katil yang disediakan ada 526 yang disediakan dan mengikut kadar sekarang belum cecah lagi 9% tetapi masih lagi boleh menerima atau menghadapi cabaran yang mungkin kita akan menghadapi. Ok, itu sahaja. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, silakan.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya, demi bersedia untuk gelombang yang ada kemungkinan datang, kebanyakan kita sudah terima Booster Dose ataupun dos ketiga. Apakah rancangan untuk remaja terutamanya pelajar-pelajar sekolah menengah yang sekarang masih belum terima booster dose dan cuma ada dua dos yang pertama? Sekian, terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok, terima kasih soalan daripada YB Mengkibol. Dan, untuk program imunisasikan negara kita ataupun rakyat jelata kami mengikut laporan ataupun nasihat daripada WHO, dan mengikut laporan yang terkini kita cuma bagi booster dose kepada mereka yang sudah dewasa. Bagi remaja, mengikut cadangannya cuma dua dos sahaja yang dikenakan dan negeri Johor, maaf saya tidak dapat, belum dapat lagi figure exact. Rasanya, pada minggu lepas saya telah memberi satu, lebih daripada 98% remaja yang sudah terima vaksin yang lengkap. Ok, itu sahaja. Sekian terima kasih.

Speaker

Ok, jemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan 11. Terima kasih.

Segamat merupakan penyambung ke Pantai Timur dan juga ke selatan Johor. Ia merupakan potensi perkembangan ekonomi yang amat tinggi. Berhubung ini, adakah sebarang rancangan untuk membina exit toll lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Segamat untuk meningkatkan efisiensi dan perkembangan ekonomi tempatan?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Jementah. Menurut Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) terdapat satu cadangan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 4 (LPT 4), objektif pembinaan lebuhraya berkapasiti tinggi di koridor pantai timur yang menghubungkan aliran lalu lintas dari arah utara (Kelantan dan Terengganu) ke selatan (Pahang dan Johor). Laluan ini merupakan laluan utama semasa pengguna kenderaan hanya terhad kepada LPT 2 dan jalan persekutuan 3, FR3. Ia juga akses kepada north economy utama yang hanya bergantung kepada laluan jalan raya tempatan. Impak besar adalah mewujudkan kegiatan ekonomi antara Singapura dengan Wilayah Pantai Timur Malaysia. Terutamanya kegiatan pelancongan dan industri perkilangan. Cadangan lebuhraya ini merupakan kesinambungan LPT3 dari Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu ke Kota Bharu dan Tumpat di Kelantan.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, Pelan Pembungunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 juga mencadangkan pembinaan Lebuh raya Timur – Selatan (Mersing ke Johor Bahru) bagi meningkatkan integrasi wilayah yang selari dengan cadangan pembinaan LPT 4. Cadangan jajaran LPT 4 di wartakan di dalam Rancangan Struktur Negeri Johor 2030 yakni projek berimpak tinggi, HIP 22. Menurut Highway Network Development Plan 2030 dengan izin, yang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya, merancang untuk pembinaan LPT 4, dan jambatan ketiga Johor – Singapura selepas tahun 2030.

Yang Berhormat Ahli Dewan yang mulia ini, skop cadangan projek LPT 4 masih dalam penelitian Kementerian Kerja Raya Malaysia. Cadangan pembangunan lebuhraya sambungan Fasa 4 kepada Lebuh raya Pantai Timur (LPT) menghubungkan Kuantan, Pahang ke Mersing, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Johor. Jajaran lebuh raya adalah sepanjang 239 kilometer meliputi Pahang 170 kilometer dan Johor 123 kilometer. Penjajaran baru yang selari dengan laluan persekutuan 3 FR3 ini dan jajarannya melintasi Kuantan ke Kota Tinggi, di persimpangan Senai – Desaru Expressway (SDE). Dan, seterusnya di sambungkan dari Pasir Gudang ke Tanjung Langsat. Jumlah persimpangan ada 8, iaitu Kuantan North, Kuantan South, Pekan, Rompin, Mersing, Jamaluang, Kota Tinggi, Ulu Tiram, SDE. Anggaran tempoh pembinaan ialah 9 tahun dengan anggaran kos RM15 bilion.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri berpandangan pihak Kementerian Kerja Raya hendaklah memperincikan jajaran di negeri Johor dan mengenal pasti plot tanah yang akan terlibat dengan pengambil alihan tanah (PBT) serta rizab hutan. KKR juga hendaklah melaksanakan analisis keadaan semasa merangkumi keadaan tapak dan persekitaran, sumber air sungai, akses trafik, kualiti alam sekitar, sosio-ekonomi dan pembangunan semasa. Pihak KKR akan, hendaklah melaksanakan kajian kebolehlaksanaan merangkumi TIA, SIA, EIA dan analisis kesan ekonomi kajian kebolehlaksanaan tanah serta kajian pasaran sumbangannya kepada DSG. Sekian terima kasih.

Speaker

Ya.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Pada pandangan saya, Segamat bagaikan dianaktirikan sekian lama. Jadi, soalan tambahan saya selain daripada kajian yang disebutkan oleh Yang Berhormat EXCO dan selain daripada cadangan pembinaan Exit Toll, apakah penyelesaian alternatif untuk jangka masa yang pendek, terutama penggal sekarang lah? Saya rasa ini bukan sahaja memanfaatkan saya, ini juga memanfaatkan Yang Berhormat Buloh Kasap, Pemanis, Kemelah. Sekian, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Jementah. Insya-Allah kerajaan baharu ini tidak

akan menganaktirikan Segamat lagi di masa akan datang. (Dewan bertepuk). Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, ada beberapa projek yang kita angkat. Antaranya ialah projek jalan J32, Muar ke Labis sepanjang 80 kilometer yang kita dah angkat dalam RMKe-12, RP 12 tetapi masih menunggu kelulusan dan juga kita ada angkat satu projek bandar Segamat ke Muar untuk naik taraf ke dua lorong, lebih kurang pada anggaran RM3.34 juta.

Jadi, untuk sementara kita menunggu pelan ini dapat dilaksanakan pada 2030 seperti Yang Berhormat Jementah sebut tadi, ada beberapa tol daripada pantai barat boleh kita ke Segamat, antaranya Tol Yong Peng, Tol Pagoh, Tol Tangkak dan terbaru ialah Tol Bukit Gambir. Jadi, boleh gunakan untuk sementara, jangka masa sementara ini jalan-jalan daripada tol-tol ini kita akan naik taraf ke Segamat dan seterusnya pada tahun 2030 barulah kita akan mulakan usaha Lebuhraya Pantai Timur. Sekian terima kasih Yang Berhormat. Tak akan dianaktirikan lagi.

Ya, sila Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, saya tertarik dengan soalan daripada YB Jementah pada hari ini berkaitan dengan kemudahan jalan raya. Di kawasan Segamat ini memang kami ini antara daerah yang jauh hendak pergi ke Johor Bahru pun ambil masa, hendak pergi ke Kuala Lumpur pun jauh. Lagi-lagilah hendak ke pantai timur. Jadi, terima kasih kepada JKR yang telah menyiapkan jalan yang cukup baik, 4 lorong daripada Gemerih sampailah ke Sagil. Cuma sampai Sagil tu dia tak tau bila lagi dia akan teruskan sampai ke Tangkak. Saya kira kalau kerajaan negeri dapat memberikan tekanan kepada kerajaan pusat, untuk menyegerakan, menyiapkan jalan daripada Sagil sehingga ke Tangkak, saya ingat itu pun cukup baik. Dia akan memendekan tempoh masa terutamanya mereka yang daripada Segamat ini untuk masuk ke lebuhraya utara-selatan ini kepada mungkin dalam 40, 30 hingga 40 minit daripada daerah Segamat.

Dan berkenaan dengan jawapan daripada YB EXCO tadi, berkenaan jalan yang dikatakan dari Segamat ke Muar itu, adakah itu juga termasuk dalam kemudahan tambahan jalan daripada Sagil ke Tangkak tersebut? Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pemanis. Untuk makluman Ahli Dewan belum ada lagi cadangan untuk Jalan Sagil ke Tangkak tadi, tapi saya akan semak sama ada kita dah masukkkan dalam apa tu, mana-mana RMK, Rolling Plan dan insya-Allah, nanti saya akan beri maklum balas-maklum balas tajuk ini nanti kepada Yang Berhormat Pemanis. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Maharani.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Rakyat menghadapi kekurangan barang keperluan seperti ayam, tepung, gula, minyak, daging dan sayur-sayuran. Apakah tindakan kerajaan negeri Johor dalam mengatasi hak keperluan rakyat tersebut?

Speaker

Dipersilakan. Nombor 12.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Yang Berhormat Datuk Speaker, nombor 12 soalan daripada Yang Berhormat Skudai. Untuk Yang Berhormat Maharani soalan 13.

Speaker

Sekarang ni adalah 2 soalan yang naik ni, 12 dan 13. Sekarang nombor 12.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya ada kekeliruan sikit. Saya minta maaf yang itu. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat tentang soalan nombor 12, berkaitan dengan kekurangan barang keperluan seperti ayam, tepung, gula, minyak, daging, sayur-sayuran. Apakah tindakan kerajaan negeri Johor dalam mengatasi hak keperluan rakyat.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan Johor sentiasa mengambil maklum tentang keperluan-keperluan seperti yang dinyatakan Yang Berhormat Maharani. Dan perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sekuriti Makanan dan akan dibentangkan dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Maharani, jawapan lebih lanjut saya akan serahkan selepas selesai mesyuarat yang dikatakan tadi. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Maharani.

Terima kasih kepada jawapan yang diberikan. Berkaitan dengan kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak, tidak diteruskan mulai Julai ini, yang telah diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan juga Hal Ehwal Pengguna. Apakah inisiatif lain yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada pengguna setelah memansuhkan ketiga-tiga barangan asas tersebut bagi membantu ekonomi rakyat? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan ini menjurus kepada soalan untuk portfolio lain. Walau bagaimanapun, untuk jangka pendek ini kerajaan negeri sentiasa prihatin tentang keperluan-keperluan dan kebajikan rakyat. Untuk makluman Yang Berhormat, pada bulan lepas, Yang Berhormat Menteri Besar telah memberikan, atau mengumumkan Bantuan Kasih Bangsa Johor yang meliputi hampir RM200 juta yang diberikan kepada seluruh rakyat negeri Johor. Dan kerajaan Johor sedang memikirkan atau sedang merancang untuk Bantuan Kasih Bangsa Johor 2.0. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Maharani sekali lagi.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 13.

Pada tahun 2018, kerajaan negeri telah melancarkan Taman Perumahan Islam Johor di Maharani. Apakah status dan perkembangan Taman Perumahan Islam tersebut, kerana sehingga sekarang masih tiada pembinaan? Rujuk kepada Sidang Dewan Mac 2018.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Maharani Projek Taman Perbadanan Islam Maharani berkeluasan 69 ekar terdiri daripada pembangunan bercampur di mana 41% Perumahan Mampu Biaya Johor dan 60% dan komersial termasuk kemudahan awam seperti dewan orang ramai, kawasan rekreasi, tadika dan gerai terbuka. Bagi perumahan mampu biaya pula, akan membina RMB, A136 unit; RMB, B202 unit; RMB, C142 unit dan KKS atau kedai 68 unit. Status terkini bagi Taman Perumanan Islam di Maharani telah lulus Kebenaran Merancang pada 6 Julai 2021 setelah mematuhi syarat-syarat teknikal jabatan dan agensi teknikal yang berkaitan. Pihak Majlis Perbandaran Muar juga telah meluluskan kerja tanah kecil pada 17 Februari 2022. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila, Maharani.

Terima kasih di atas jawapan dari Yang Berhormat. Soalan tambahan saya, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor yang telah pun memberikan keutamaan kepada Maharani untuk pembinaan Taman Perumahan Islam. Oleh kerana ianya dibina atas nama Perumahan Islam mungkin ia menggunakan peruntukan daripada duit zakat, wakaf dan seumpamanya. Maharani ingin bertanya tentang nisbah kuota yang diberikan atau diperuntukkan kepada Bumiputera Islam dan juga pada bukan Bumiputera untuk memiliki rumah tersebut?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih pada YB Maharani. Untuk makluman Dewan yang mulia, Perbadanan Islam Johor ataupun PIJ yang dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor, telah ditubuhkan pada 6 Mei 1976 melalu Enakmen Bilangan 1, Tahun 1976 oleh kerajaan negeri Johor. Perbadanan telah memulakan operasi pada 1 Januari 1977. Kewajipan PIJ yang termaktub di bawah Seksyen 18(1) Enakmen Bilangan 1, Tahun 1976 pindaan 1993 adalah Seksyen 18(1) adalah menjadi kewajipan Perbadanan bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menyelenggara kemajuan tanah, kemajuan pertanian, perumahan, perusahaan, perlombongan dan perdagangan bagi maksud-maksud memajukan ekonomi orang-orang Islam dalam negeri Johor. Maknanya tidak ada kuota pada yang lainnya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Kukup.

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 14.

Apakah perancangan jangka masa pendek dan panjang kerajaan negeri untuk membela nasib nelayan kecil yang terhimpit berikutan kekurangan hasil tangkapan di perairan Johor berikutan daripada kepesatan aktiviti pembangunan di kawasan pantai.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kukup atas soalan nombor 14. Bagi membela nasib nelayan, kerajaan masih meneruskan Bantuan Elaun Sara Hidup nelayan sebanyak RM300.00 sebulan. Seramai 3,164 nelayan di negeri Johor menerima elaun ini, yang bertujuan membantu melayan meneruskan kelangsungan hidup sekali gus dapat membantu kehidupan di dalam keadaan kenaikan kos sara hidup di Malaysia. Nelayan yang layak dipertimbangkan untuk menerima Elaun Sara Hidup ini adalah terdiri daripada 3 kategori, iaitu pemilik vessel perikanan Zon A, pemilik vessel transformasi Zon A yang berstatus syarikat dan pekerja atau awak-awak atau vessel berlesen Zon A, B, C dan C2 bertaraf warganegara Malaysia.

Nelayan di Johor juga diberi bantuan subsidi minyak diesel dan petrol dengan harga RM1.65 bagi menampung sebahagian kos pengoperasian penangkapan ikan. Kepada nelayan yang mempunyai kad nelayan yang sah, pemberian subsidi ini diberikan kepada nelayan yang aktif ke laut. Dianggarkan 3.0 juta liter kuota bagi subsidi minyak diesel sebulan dan 1.5 juta liter kuota bagi subsidi minyak petrol sebulan. Bagi merancakkan sektor perikanan kerajaan negeri telah berada di atas haluan yang tepat hingga meluluskan lot-lot ternakan estet kerang-kerangan negeri Johor sebagai satu projek yang membuka ruang kepada nelayan Zon A untuk meningkatkan pendapatan seiring dengan usaha meningkatkan pengeluaran akuakultur negeri Johor serta dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial penduduk setempat.

Selain itu syarat spesifikasi sampan dan had kuasa kuda enjin sangkut telah ditingkatkan daripada 11 meter kepada 15 meter dan 120 kuasa kuda kepada 200 kuasa kuda enjin dengan peningkatan spesifikasi ini akan dapat meningkatkan produktiviti dan kadar tangkapan nelayan. Manakala untuk perancangan jangka masa panjang, kerajaan dalam perancangan mewujudkan Zon Industri Perikanan atau ZIP negeri Johor, yang bertujuan merizabkan kawasan pembangunan industri akuakultur, atau kawasan sedia ada dan pengurusan sumber perikanan negeri Johor seluas 10,098.63 hektar.

Antara perancangan ini adalah untuk mengelakkan kawasan habitat semula jadi hidupan marin, mewujudkan kawasan kekal aktiviti perikanan, meningkatkan pengeluaran ikan selari dengan aktiviti dengan matlamat agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor, mengekalkan eko sistem semula jadi kawasan pengeluaran benih, seperti ikan, udang dan kerang-kerangan, meningkatan pendapatan bersih nelayan persisir pantai dan pengusaha akuakultur kepada sekurang-kurangnya RM3,000.000 sebulan. Mewujudkan rantaian pengeluaran sektor industri perikanan dan meningkatkan penglibatan sektor swasta di kawasan ZIP dan meningkatkan kemudahan infrastruktur. Pihak LKIM juga menyalurkan sumber peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan negeri bagi menjalankan projek-projek yang membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan sampingan kepada para nelayan di bawah persatuan nelayan kawasan. Projek-projek yang dilaksanakan oleh persatuan nelayan kawasan akan memberikan manfaat kepada ahli persatuan nelayan dalam bentuk dividen melalui kiraan keuntungan tahunan projek dilaksanakan oleh persatuan nelayan kawasan. Terima kasih Yang Berhomat.

Speaker

Saya benarkan satu soalan tambahan daripada Kukup. Sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, satu ketika dahulu kita mempunyai seorang Menteri yang boleh mengira bilangan ikan di laut tetapi Menteri tersebut sudah tidak ada di dalam kerajaan kita. Cuma soalan saya kepada Yang Berhormat EXCO, adakah kerajaan negeri bersedia untuk melatih anak-anak muda untuk menjadi nelayan yang berkemahiran tinggi, yang berteknologi tinggi, menerokai lautan yang lebih luas bagi mencari sumber perikanan? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya minta maaf saya tidak ada kebolehan untuk mengira ikan ini. (Dewan ketawa). Walau bagaimanapun Yang Berhormat, saya alu-alukan cadangan daripada Yang Berhormat Kukup tentang membuka ruang kepada anak-anak muda khasnya, dan juga nelayan-nelayan persisir pantai atau Zon A, B, C untuk diberikan lesen Zon C3, dan laut lepas kerana untuk makluman Yang Berhormat kerana kawasan-kawasan persisir pantai Zon A, B, kawasan tangkapan semakin kritikal waktu ini. Sekian, Yang Berhormat.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.20 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.

Jurutulis

Soalan Bertulis. Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan JohorAddress / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat perbahasan ini disambung sekarang. Saya jemput Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama-tamanya bersyukur saya kehadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, dapat kita hadir dan berkumpul di Dewan yang mulia ini bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor. Pada kesempatan ini, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Sidang Dewan Negeri Johor kali ini. Saya turut merafak sembah tahniah atas kemasyhuran Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja.

Kalam Bismillah pembuka bicara, sirih pinang penyeri acara, raja berdaulat payung mahkota, negeri maju rakyat sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan ini adalah kali pertama saya berucap dan berbahas di Dewan yang mulia ini sebagai Menteri Besar, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas perkenan melantik patik sebagai Menteri Besar yang baru.

Datuk Speaker, tidak ketinggalan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Datuk Seri Utama Haji Hasni bin Mohammad yang telah mentadbir negeri ini dengan penuh dedikasi dan bijaksana. (Dewan bertepuk). Segala usaha yang telah dilakukan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Utama Haji Hasni untuk negeri ini, sesungguhnya amat dihargai oleh seluruh rakyat negeri Johor.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, bukan sahaja atas kejayaan beliau menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah tetapi juga atas penganugerahan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Panglima Setia Mahkota sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 6 Jun yang lalu. Sebagaimana saya sebutkan pada Majlis Amanat Menteri Besar baru-baru ini, penganugerahan yang diberikan kepada Tan Sri bukan sahaja satu kebanggaan kepada Perkhidmatan Awam Johor tetapi lebih daripada itu, ia adalah pembakar semangat agar Johor akan sentiasa melahirkan generasi kepimpinan yang cemerlang dan gemilang. Tahniah Tan Sri. (Dewan bertepuk).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan yang mulia ini tidak mungkin dapat dijalankan dengan baik tanpa peranan seorang Speaker dan seorang Timbalan Speaker. Lantaran, tahniah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, ADUN Rengit dan Yang Berhormat Datuk Samsolbari, ADUN Semarang atas pelantikan sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor. Syabas saya ucapkan di atas hemah dan kebijaksanaan di atas hemah kedua-dua Datuk Speaker dan Timbalan Speaker yang telah mengelola perjalanan Persidangan Dewan Negeri Johor ini dengan penuh tertib, adil, teratur dan baik.

Berbahas isu dan masalah rakyat, lambang bicara bangsa sepakat, Speaker dan Timbalannya gandingan hebat, menjunjung titah membulat muafakat.

Datuk Speaker, dalam kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor termasuk mereka yang berada di Machap, kawasan saya yang bukan sahaja telah memberikan kemenangan majoriti 2/3 kepada Barisan Nasional dalam Pilihan

raya Negeri baru-baru ini, malah telah memberikan kemenangan super majority, dengan izin, 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan baru-baru ini. Sesungguhnya, keyakinan sebegini besar tidak lain dan tidak bukan melambangkan amanah dan mandat yang begitu tinggi yang diberikan oleh Bangsa Johor. Percayalah, tanggungjawab dan amanah ini akan kami pikul dengan sebaik mungkin dan dengan sedaya upaya kami, Insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Wakil Rakyat yang telah mencipta kemenangan dalam Pilihan raya Negeri yang lalu. Kita semua yang berada di dalam Dewan ini, tidak kira pangkat dan darjat, sama ada Wakil Rakyat daripada kerajaan mahu pun daripada pembangkang, mempunyai peranan sebagai pemimpin meskipun dalam kapasiti yang berbeza. Kita bukan sahaja menggalas amanah dan tanggungjawab kepada rakyat tetapi lebih penting lagi amanah dan tanggungjawab ini akan dipersoal oleh Tuhan sekalian alam apabila kita kembali ke Rahmatullah nanti. Saya yakin dan percaya bahawa setiap agama di dalam dunia ini menekankan betapa kita perlu jujur dan amanah dalam melunaskan tanggungjawab kita dalam apa jua konteks sekali pun. Sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam, saya ingin mengingatkan diri saya dan semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini akan doa yang diungkap oleh Junjungan Besar Rasullullah SAW (membaca hadis). “Ya Allah, barang siapa yang menjawat satu jawatan di kalangan umatku, namun dia menyusahkan urusan rakyat yang dipimpin, maka engkau susahkan hidup dia wahai Allah dan barang siapa yang menjawat satu jawatan di kalangan umatku dan dia berusaha untuk menolong orang yang dipimpin, maka tolonglah dia sampai siap, wahai Allah” (Hadis Riwayat Muslim).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, setiap dari kita yang berada di dalam Dewan ini, berada dalam doa yang dititipkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ini sesungguhnya adalah sebesar-besar nikmat. Pilihan adalah di tangan kita, sama ada ingin menjadi pemimpin yang diberkati atau pemimpin yang dilaknati.

Yang Berhormat Datuk Speaker, patik juga menjunjung kasih atas segala nasihat dan teguran yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, semasa Pembukaan Sidang Dewan Pada Penggal Yang Ke-15. Saya telah meneliti, mengamati dan menghayati setiap perkataan, ayat, baris dan perenggan yang telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan. Kalau dirumus apa yang dititahkan pada hemat saya, Tuanku telah menyentuh banyak perkara yang semuanya menjurus kepada kepentingan rakyat. Antaranya, pembangunan, ekonomi, kewangan, pentadbiran, kebersihan, penyelenggaraan, pelancongan, anak muda Johor dan yang paling penting kedaulatan negeri ini.

Datuk Speaker, walaupun majoriti Wakil Rakyat yang berada di dalam Dewan yang mulia ini, adalah muka-muka baru iaitu 35 daripada 56 keseluruhannya. Saya bersyukur, kerana mereka semua bukan sahaja telah menyambut baik Titah Tuanku tetapi juga telah berbahas dengan tuntas, melontarkan idea-idea yang bernas dan membawa isu-isu rakyat di kawasan masing-masing dengan cekap dan kemas. Segala cadangan ataupun kritikan membina yang dilontarkan, saya terima dengan hati yang terbuka dan amat saya hargai. Saya percaya, kita semua arif bahawa ada perkara dan isu yang boleh diselesaikan di peringkat negeri, namun ada juga perkara dan isu yang hanya boleh diselesaikan dengan intervensi daripada kerajaan persekutuan seperti yang telah disuarakan oleh Yang Berhormat Kahang, Pemanis, Endau, Mahkota, Kota Iskandar, Stulang, Tanjung Surat, Pekan Nanas, Skudai, Kempas, Parit Yaani, Gambir, Penggaram, Tenang, Senai, Tangkak, Pulai Sebatang, Pontian, Jementah, Parit Raja dan Layang-Layang. Kebetulan saya akan ke Kuala Lumpur minggu ini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Perkara-perkara yang dibawa oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat akan saya sampaikan untuk perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. (Dewan bertepuk.) Sebab itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun saya sangat menghargai sokongan padu daripada

rakan strategik saya, Yang Berhormat Perling untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju pada tahun 2030. Namun, saya tidak dapat bersetuju dengan cadangan beliau untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri ataupun All State Committee kerana ini akan mengeruhkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Committee ini akan mewujudkan suasana yang tegang yang tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa. Dalam menyelesaikan apa jua isu dan masalah, ia perlu dilakukan dengan penuh hemah dan bijaksana, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung juga tak berselerak.

Datuk Speaker, menyentuh tentang intervensi persekutuan juga, seingat saya, projek-projek berimpak besar yang berpotensi memacu, memaju dan mampu memberi limpahan ekonomi yang berganda kepada negeri Johor seperti high speed rail, Projek Pelebaran Lebuh Raya Utara – Selatan Daripada Yong Peng ke Kulai, Projek Pelebaran Lebuh Raya Senai – Desaru yang telah dipersetujukan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum Pilihan raya Umum Yang Ke-14, semuanya telah dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh singkat mereka memegang tampuk kepimpinan negara.

Sebagai seorang pemimpin muda, saya kecewa. Janganlah disebabkan dendam kesumat dan iri hati, Johor dan rakyatnya menjadi mangsa. Malah, keputusan untuk tidak meneruskan tuntutan ke atas Batu Puteh ataupun Pedra Branca telah dibuat juga oleh pemimpin Pakatan Harapan. Ini soal kedaulatan dan maruah negara. Pihak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa Batu Puteh pernah menjadi Kesultanan Johor yang berdaulat. Persoalannya sekarang ialah siapa yang menasihati kerajaan membuat keputusan yang melulu sedangkan Peguam Negara dicutikan pada ketika itu? Rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Johor amat mengambil berat dan memandang serius terhadap perkara ini. Mana mungkin maruah dan kedaulatan negara ini digadaikan begitu sahaja. Meskipun ada yang beranggapan Batu Puteh tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan, namun kita tidak boleh menafikan erti dan kepentingannya dari sudut kedudukan strategik MARITIM. Dari sudut kepentingan strategik, meskipun saiznya sebesar padang bola, 8,560 meter persegi, Batu Puteh terletak begitu dekat dengan Johor iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusup, Johor berbanding 46 kilometer dari Changi. Kedudukan Batu Puteh juga amat strategi iaitu terletak di laluan utama bagi kapal-kapal dagang melalui Selat Melaka dan Laut Cina Selatan. Kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia terutamanya para nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan hasil laut mereka terjejas. Batu Puteh sebelum ini merupakan kawasan perikanan penting bagi nelayan-nelayan kita dan juga tempat mereka berteduh ketika ombak besar dan ribut. Bahkan pada ketika ini kita sudah menerima laporan bahawa ramai nelayan-nelayan kita yang sudah dihalau keluar dari kawasan berdekatan Batu Puteh oleh Pengawal Pantai Singapura.

Memandangkan Batu Puteh kini menjadi hak Singapura, ini akan menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya sekitar 1 kilometer daripada Batu Puteh. Pertikaian tersebut kini menjadi lebih serius apabila laporan menyatakan bahawa Singapura telah mula menjalankan kerja-kerja penambakan di Batu Puteh sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam rundingan dan belum dimuktamadkan. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tiada ruang untuk pemimpinnya mengambil ringan atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan negara. Walaupun sekecil atau sekelumit mana pun saiz kawasannya menjadi rebutan setiap inci perlu kita jaga dan pertahankan. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan PH pada masa itu telah khilaf dengan menarik balik rayuan tuntutan ke atas Batu Puteh. Dan ianya bukan saja telah meninggalkan satu precident yang buruk kepada negeri dan negara tetapi lebih daripada itu mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara kita yang berdaulat. Semoga tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianatan ini.

Datuk Speaker, akibat ketidakstabilan politik di negara ini sejak tahun 2018 negeri Johor dilihat seolah-olah dianaktirikan. Beginilah juga keadaannya apabila pemimpin-pemimpin tidur sebantal tapi mimpinya lain-lain. Sebagai contoh, peruntukan yang diterima oleh negeri Johor bagi Rolling Plan ke-2 tahun 2022 adalah berjumlah RM4.6 bilion melibatkan 434 projek. Walaupun peruntukan bagi tahun 2022 meningkat namun kebanyakan adalah projek-projek sambungan. Manakala bagi projek baharu hanya melibatkan 79 projek sahaja, iaitu dengan peruntukan hanya RM85.5 juta atau hanya 2% daripada jumlah peruntukan bagi tahun 2022.

Datuk Speaker, hakikatnya negeri dan negara menjadi tidak stabil selepas Pilihan raya Umum Yang Ke-14. Justeru jawapan untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan federalisme ini bukanlah melalui All State Comittee tetapi dengan kestabilan. Kestabilan hanya akan wujud jika ada kerajaan yang stabil. Oleh itu saya merayu kepada seluruh Bangsa Johor untuk tidak mengambil risiko lagi. Pada Pilihan raya Umum yang akan datang kembalikanlah kestabilan negara dengan memilih kerajaan yang boleh membawa kestabilan. (Dewan bertepuk).

Janganlah kita membenarkan diri untuk jatuh dalam perangkap dan lubang gelap yang samar, lantas dipatuk pula oleh ular yang sama buat kali kedua. Berhubung permintaan Yang Berhormat Perling yang mencadangkan by partisan approach demi kepentingan rakyat. Saya sangat bersetuju dengan cadangan ini. Namun ia perlu ada keikhlasan daripada kedua-dua belah pihak untuk mencapai matlamat ini. Jangan dalam Dewan kita cakap lain tetapi dalam facebook kita cakap lain, jangan kita jadi talam dua muka. (Dewan bertepuk).

Sebagai contoh baru-baru ini, salah sorang pemimpin tertinggi daripada DAP Johor telah menghasut rakyat untuk pergi ke jalanan untuk menyelesaikan isu kenaikan harga barang. Kononnya pemimpin-pemimpin sedang dibuai lena. Adakah dia lupa kerajaan negeri Johor baru sahaja membantu rakyat dengan Bantuan Kasih Bangsa Johor yang melibatkan peruntukan RM144 juta. Pada masa sama bukankah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru saja mengumumkan bantuan kepada 8.6 juta penerima BKN dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500.00 pada tahun ini. (Dewan bertepuk).

Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan. Siapa sebenarnya yang dibuai lena ataupun ia terlalu ghairah mengaburi mata rakyat dan langsung tidak segan untuk berdusta. Bercakap tentang bermuka-muka juga, baru-baru ini Pangsapuri Bukit Saujana didakwa tidak diendahkan kerajaan negeri seperti yang dipaparkan dalam facebook Yang Berhormat Perling, itu tidak benar sama sekali.

Saya sendiri telah turun padang, malah Datuk Jafni sebagai EXCO pun sudah turun padang. Untuk makluman Yang Berhormat Perling selain daripada tinggal fasa bantuan yang disebut oleh EXCO Perumahan sebentar tadi, saya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150,000.00 untuk masjid di pangsapuri tersebut.(Dewan bertepuk). Insya-Allah kerajaan negeri akan sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku dan akan terus membantu rakyat sedaya mungkin.

Datuk Speaker, perkara yang paling saya kesalkan adalah apabila niat baik kerajaan negeri untuk membantu rakyat Johor melalui Bantuan Beras Bangsa Johor telah dicalar oleh Yang Berhormat Stulang di mana akhirnya beliau sendiri telah memohon maaf, mengaku kesilapan kerana telah memberi maklumat yang palsu kepada Bangsa Johor. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Stulang, terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya.

Pada rakan strategik saya Yang Berhormat Perling dan rakan-rakan DAP di sebelah sana, dalam keghairahan merangka strategi untuk memenangi Pilihan raya Umum, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak menggunakan taktik lama yang tidak beretika. Menghasut rakyat turun ke jalanan, mengadu domba, melempar tohmahan dan fitnah semata-mata demi meraih undi. Perlu ada adab, had dan batasnya dalam kita berpolitik. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Ini penting dan perlu dijadikan teras dan sandaran sekiranya kita benar-benar serius mahu mengujudkan hubungan baik by partisan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Perling sendiri. Jadilah pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif. (Dewan bertepuk).

Namun saya pasti saya dan 39 lagi rakan-rakan daripada Barisan Nasional yang berada di dalam Dewan yang mulia ini tidak akan pernah gentar, lelah dan mengalah dalam menentang dan melawan habis-habisan setiap tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan negeri. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 193, “dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan yang tinggal hanyalah agama Allah”.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya membaca serangkap pantun. Yang Berhormat Mahkota sinis menjeling, kalau berbahas terlebih masa, penat bercakap tekak pun kering, izinkan saya minum seteguk dulu, dengan izin, Speaker.

Speaker

Sila, sila.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Speaker.

Speaker

Cuma Yang Amat Berhormat saya tak tahu Mahkota ni senyumannya sinis. (Dewan ketawa).

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Mudik ke tanjung hulu muara, menyusur taman kota nan megah, Speaker terajui Dewan yang mulia, sepenuh hati memikul amanah. (Dewan bertepuk).Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak yang telah disentuh dan dibahaskan dalam tempoh masa 7 hari kita bersidang di dalam Dewan yang mulia ini. Dari segi manifesto Pilihan raya Negeri, Ikhtiar Barisan Nasional Johor, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Sri Medan, Pulai Sebatang, Gambir, Sedili, Pemanis, Parit Raja, Panti dan Mahkota atas peringatan. Insya-Allah menjadi niat kerajaan negeri untuk menunaikan janji-janji pilihan raya negeri tersebut.

Yang Berhormat Benut dan saya telah bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa bagi memastikan segala kata akan dikota, segala janji akan ditepati. (Dewan bertepuk). Malah jawatankuasa itu sudah mula bermesyuarat sejak 2 minggu yang lalu. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Johor Jaya, Maharani, Pasir Raja, Mengkibol, Penggaram, Tangkak dan Layang-Layang kerana telah menyentuh tentang penyelarasan cuti hujung minggu yang hebat dibicarakan hari ini.

Ia menjadi buah mulut Bangsa Johor kerana ramai ibu bapa yang bekerja di sektor swasta terutamanya, hanya dapat meluangkan masa selama 1 hari sahaja dengan anak-anak mereka pada hari cuti minggu disebabkan perbezaan hari cuti. Penyelarasan perlu dibuat agar ibu bapa boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta. Pelbagai cadangan telah diberikan, ada yang mahu ia kekal hari Jumaat dan Sabtu supaya mudah pergi solat. Ada yang mahu ia diubah ke Sabtu dan Ahad supaya selari dengan persekutuan. Ada yang mahu masa rehat hari Jumaat yang lebih panjang, ada yang mahu cuti dua hari setengah, malah ada yang mahu cuti 3 hari seminggu. Semua pandangan dan cadangan ini saya terima dengan baik. Namun perkara ini masih lagi dalam peringkat kajian dan ia melibatkan pelbagai pemegang taruh. Kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan yang melulu dan walau apa pun keputusan yang ingin dibuat ia perlu mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.

Datuk Speaker, dari segi ekonomi, terima kasih Yang Berhormat Kukup, Perling, Sri Medan, Sedili, Johor Jaya, Sungai Balang, Pasir Raja, Parit Yaani, Stulang, Tanjung Surat, Gambir, Permas, Tenang, Senai, Pulai Sebatang, Jementah, Bukit Kepong dan Panti. Sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 7% setiap tahun seperti mana saya gariskan semasa amanat saya, tidak dinafikan adalah tinggi. Namun, ia mampu dicapai jika lonjakan-lonjakan besar dapat dilakukan terutamanya sektor pelaburan. Jika disingkap kembali pencapaian kita pada dekad yang lalu dalam tempoh 5 tahun terawal iaitu pada tahun 2011 hingga 2015, kita telah mencapai purata pertumbuhan pada kadar 5.8% setahun. Ini disusuli dengan pertumbuhan pada kadar 5.7% sehingga 6.2% pada tahun 2016 dan 2017. Sebelum ekonomi mula menguncup pada kadar 5.6% dan 5.3% pada tahun 2018 dan tahun 2019, tahun-tahun yang dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan. Sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 7% tidak membenarkan gerak kerja seperti lazim. Business can’t be as usual. Perlu ada anjakan paradigma dan catalyst yang boleh merangsang ekonomi kita. Kita perlu terus menarik pelabur-pelabur yang berkualiti seperti oil & gas, petrochemical, data centre, industri elektrik dan elektronik di samping mengembangkan industri makanan ataupun food bank kita.

Kita juga mempunyai wilayah-wilayah ekonomi dan agensi kemajuan di negeri Johor yang berperanan membangunkan seluruh pelosok negeri Johor ini. Wilayah Iskandar Malaysia yang merangkumi seluruh daerah Johor Bahru dan Kulai serta sebahagian daerah Pontian. ECER yang merangkumi daerah Mersing dan insya-Allah Segamat nanti serta Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang merupakan agen pembangunan wilayah bagi kawasan Tenggara negeri Johor merangkumi daerah Kota Tinggi dan Kluang. Kerajaan sedar pembangunan ekonomi negeri harus dinikmati oleh semua rakyat negeri Johor. Selain wilayah ekonomi dan agensi kemajuan ini, Johor juga sudah dan bakal mempunyai hab-hab ekonomi penting di daerah-daerah lain. Antaranya, Hab Perabot Muar, Hab Pendidikan Pagoh, Hab Pedaging di Muar dan Segamat, Hab Kerang-kerangan di Pantai Barat Johor, Lembah Tenusu Jemaluang, Mersing dan Periuk Nasi Selatan di Tangkak akan terus diperkasakan.

Selain itu, beberapa projek utama mestilah dilaksanakan dan disiapkan dengan kadar segera dan mengikut perancangan agar berupaya menjadi enabler pada pertumbuhan ekonomi. Misalnya, projek infrastruktur seperti pembangunan Projek Rapid Transit System (RTS), Projek Pembangunan Landasan Berkembar Elektrik Gemas, Johor, penaiktarafan sistem fasiliti Bangunan CIQ dan Bangunan Sultan Iskandar oleh KASB. Pembangunan pelabuhan Barter Trade, Batu Pahat. Pelebaran Lebuh raya Utara Selatan Yong Peng – Kulai dan Lebuh raya Senai – Desaru. Projek-projek ini memerlukan gemblengan dan kerjasama pelbagai pihak di negeri Johor dan persekutuan untuk menjayakannya.

Pembangunan soft infrastructure yang menyokong pertumbungan pembangunan negeri mestilah juga dipersiapkan. Kita mempunyai cabaran yang besar dalam pembangunan modal insan dan sumber manusia. Usahasama kerajaan negeri bersama universiti-universiti tempatan dan agensi-agensi berkenaan akan dipertingkatkan supaya kemahiran yang diperlukan oleh industri-industri dapat dipersiapkan. Perkara ini sudah mula digerakkan oleh Invest Johor dan MIDA bersama Universiti Teknologi Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur alhamdulillah, dengan peralihan rakyat Malaysia daripada fasa pandemik ke endemik dan pembukaan sempadan, kita melihat pusat-pusat pelancongan Johor kembali buka. Terima kasih kepada Yang Berhormat Sri Medan, Kukup, Tiram, Tanjung Surat, Bekok, Kahang, Maharani, Sedili, Johor Jaya, Sg. Balang, Kota Iskandar, Endau, Tiram, Penawar, Tenang, Jementah, Parit Raja, Bukit Kepong dan Panti yang telah membangkitkan isu pelancongan negeri Johor ini. Sememangnya ia merupakan salah satu sektor ekonomi terpenting di Johor. Bagi sektor pelancongan ini, Majestic Johor akan terus diangkat menjadi agenda penting untuk negeri Johor. Cetusan idea Majestic

Johor ini adalah bukanlah sesuatu yang terukir secara tidak sengaja. Ia dipilih kerana perkataan majestic itu sendiri sangat takjub. Ia benar-benar melambangkan negeri Johor. Satu perkataan yang hanya boleh digunakan bagi memanifestasi sesuatu yang amat indah dan menakjubkan. Dan itulah Johor. Negeri hebat, cantik menawan, kaya dengan pelbagai tarikan. Subhanallah, segala puji bagi Allah SWT yang telah menganugerahkan negeri Johor dengan begitu banyak keindahan dan keajaiban alam yang sangat luar biasa. Bayangkan taman negara sahaja kita ada 6, pulau-pulau kita ada 131, dan gunung-gunung di Johor ada 18. Pulau-pulau di Mersing diselimuti panorama yang cukup mempersona. Pasirnya putih bersih. Air laut hijau kebiruan dengan dasarnya yang cukup jernih. Sebab itu, ramai yang menyebut seperti yang Yang Berhormat Tenggaroh pernah ujarkan bahawa Mersing adalah The Maldives of Malaysia. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sana seperti snorkeling, diving dan island hoping. Saya percaya, Yang Berhormat Johor Jaya, mantan EXCO Pelancongan juga merupakan seorang diver boleh mengesahkan apa yang saya sebutkan ini. (Dewan bertepuk).

Negeri Johor terkenal sebagai destinasi syurga makanan yang enak dan lazat. Makanan tradisi Johor yang popular seperti beriani gam, kacang pol, mee racun, burasak, laksa Johor, mee bandung, asam pedas dan banyak lagi menjadi antara faktor tarikan pelancong datang ke negeri Johor. Insya-Allah, lepas ini YB Mahkota boleh belanja kita.

Speaker

Jangan lupa, ikan wadi, Yang Amat Berhormat. Ikan wadi, ikan masakan orang Banjar.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Datuk Speaker. Dari segi pembangunan-pembangunan bersejarah di negeri Johor pula, Bangunan Sultan Ibrahim, Masjid Sultan Abu Bakar dan Istana Besar sudah pastinya menjadi tempat wajib dikunjungi para pelancong. Kita juga mempunyai bangunan-bangunan ikonik dan tempat-tempat menarik yang boleh dibanggakan seperti Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Stadium Sultan Ibrahim, Bangunan Jaafar Muhammad, Taman Tema Legoland, Desaru Waterpark serta hotel-hotel bertaraf 5 bintang. Pusat-pusat membeli-belah seperti Johor Premium Outlet dan resort-resort golf yang bertaraf antarabangsa. Malah, jika Ahli-Ahli Yang Berhormat berdiri di tengah Dewan yang mulia ini, akan kedengaran gema yang di mana orang yang di tengah itu sahaja yang boleh mendengarnya. Begitu unik Dewan ini dibina. Lepas ini Datuk Speaker boleh cuba. Dengan..

Speaker

Saya pun tak tahu sebenarnya.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Tak tahu? Ha. Dengan segala keindahan dan keunikan yang ada di negeri Johor ini, Johor mampu menjadi pusat pelancongan di negara ini. Ia mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan peluang-peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor. Untuk menjayakan agenda pelancongan ini, kerajaan negeri akan memberikan fokus dari segi kebersihan, penaiktarafan, pengindahan dan promosi pusat-pusat pelancongan negeri Johor.

Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberi sokongan penuh kepada kepimpinan saya dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri Johor. (Dewan bertepuk). Saya dan barisan EXCO serta seluruh penjawat awam akan memberikan sepenuh komitmen dan dedikasi untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik demi rakyat dan negeri Johor. (Dewan bertepuk). Saya ingin mengingatkan diri saya, seluruh jentera kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk terus bekerja kuat demi rakyat. Di sinilah, kita semua perlu menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Johor Darul Ta’zim untuk meneruskan kelangsungan sebuah negeri yang maju.

Dengan itu, saya mengakhiri ucapan penggulungan saya dengan serangkap pantun sebagai renungan ktia bersama, dalam usaha untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju. Pohon jati berakar selirat, tumbuh subur segenap belantara; sederap khidmat demi rakyat, negeri maju rakyat sejahtera. Machap menyokong usul titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Daulat Tuanku. Allah Peliharakan Sultan. Maju Johor. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih, Yang Amat Berhormat Machap. Saya mendengar penggulungan Yang Amat Berhormat Machap dengan penuh tekun. Pada hemat saya, Yang Amat Berhormat akan menjadi pemimpin yang cemerlang dan competence (Dewan bertepuk). Insya-Allah, Johor akan menjadi negeri yang maju menjelang 2030. Saya sebenarnya sentiasa mengikuti FB Yang Amat Berhormat Machap. Setiap pagi selepas Subuh, beliau sentiasa turun padang. Umpama Saidina Umar yang turun pada di waktu malam. Sebab itu dia tahu ada rakyatnya yang memasak batu untuk memberi makan kepada anaknya yang kelaparan. Tujuannya supaya anaknya itu berhenti menangis dan tidur, ya. Dan adakalanya dia menyamar untuk melihat kehidupan dan kebajikan rakyat yang di bawah pemerintahannya dulu. Tetapi, Yang Amat Berhormat Machap tidak perlulah menyamar sampai pakai rambut palsu. Be as you are, dengan izin. Dan saya yakin Yang Amat Berhormat Machap bercakap dari hati nurani beliau. Sebab itu saya mengajak rakan-rakan khususnya daripada pembangkang, kita mencari apa yang salah, bukan mencari siapa yang salah. Dan ini akan memberi jaminan kita berganding bahu untuk memajukan negeri Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rundingan di hadapan Dewan ini adalah supaya dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Satu ucapan menjunjung kasih sebagai mana berikut:

“Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.”

Rundingan ini dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan ini dipersetujukan.

Jurutulis

RUNDINGAN-RUNDINGAN

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rundingan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkenaan Jawatankuasa Pilihan telah diterima oleh Jurutulis Dewan Negeri di bawah Peraturan Tetap Bilangan 30(2) Peraturan-Peratuan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor.

Dimaklumkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar melalui suratnya bertarikh 22 Jun 2022 telah mengemukakan pindaan terhadap Rundingan tersebut. Saya telah meneliti pindaan bertulis yang telah dikemukakan dan mendapati ia memenuhi Peraturan Tetap Bilangan 38, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri. Oleh yang demikian, saya meluluskan pindaan tersebut dibawa dalam Persidangan ini.

Penubuhan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon membawa Rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Bilangan 103, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor untuk

menubuhkan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor dengan keanggotaannya sebagaimana berikut:-

Speaker Dewan Negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi sebagai Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Yang Berhormat Puan Rashidah binti Ismail (Pasir Raja), Yang Berhormat Tuan Hahasrin bin Hashim (Panti), Yang Berhormat Tuan Tan Chong (Bekok), Yang Berhormat Tuan Sahrihan bin Jani (Gambir), Yang Berhormat Tuan Haji Selamat bin Takim (Sungai Balang), Yang Berhormat Tuan Muszaide bin Makmor (Sedili), Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin (Tanjung Surat), Yang Berhormat Puan Hajah Alwiyah binti Talib (Endau), Yang Berhormat Tuan Wong Bor Yang (Senai), Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Jurutulis Dewan Negeri Johor sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa ini adalah berkewajipan memeriksa dan mengesyorkan pindaan-pindaan kepada Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor pada Dewan Negeri dan cukup bilang bagi jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang ahli. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju, jemput angkat tangan, Ahli-Ahli yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Dewan Negeri Johor

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Bilangan 103, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor dengan keanggotaannya sebagaimana berikut:-

Yang Berhormat Datuk Haji Ramlee bin Bohani (Kempas) sebagai Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasanya terdiri daripada Yang Berhormat Puan Haslinda binti Salleh (Tenang), Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Fuad bin Tukirin (Bukit Naning), Yang Berhormat Puan Saraswati a/p Nallathamby (Kemelah), Yang Berhormat Datuk Mohamad Najib bin Samuri (Parit Yaani), Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Yusla bin Ismail (Senggarang), Yang Berhormat Puan Nor Rashidah binti Ramli (Parit Raja), Yang Berhormat Puan Fauziah binti Misri (Penawar), Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Sahruddin bin Jamal (Bukit Kepong), Yang Berhormat Tuan Chiong Sen Sern (Bukit Batu), Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Johor, Jurutulis Dewan Negeri sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa ini adalah berperanan menimbangkan apa-apa perkara yang menyentuh kuasa-kuasa, hak-hak kebebasan Dewan Negeri yang diserah oleh Dewan Negeri kepadanya dan setelah itu mengeluarkan penyata mengenainya kepada Dewan Negeri. Dan cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang ahli. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadangkan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli bersetuju, dijemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Impak Pertambahan Pengundi

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Bilangan 103, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Impak Pertambahan Pengundi dengan keanggotaannya sebagaimana berikut:-

Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali (Semarang) sebagai Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Yang Berhormat Datuk Haji Jefridin bin Atan (Kukup), Yang Berhormat Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan (Kahang), Yang Berhormat Dato’ Hajah Sharifah Azizah binti Dato’ Syed Zain (Mahkota), Yang Berhormat Tuan Azizul bin Bachok (Tiram), Yang Berhormat Tuan Pandak bin Ahmad (Kota Iskandar), Yang Berhormat Tuan Tan Eng Meng (Pekan Nanas), Yang Berhormat Puan Marina binti Ibrahim (Skudai), Yang Berhormat Ng Kor Sim (Jementah), Jurutulis Dewan Negeri Johor sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa ini adalah berperanan menjalankan kajian dan mengemukakan cadangan akan kesan penambahan pengundi berdaftar akibat pelaksanaan Pengundi 18 Tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik dan setelah itu mengeluarkan penyata mengenainya kepada Dewan Negeri. Dan cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang ahli. Yang Berhormat Datuk Speaker saya mohon mencadangkan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan persetujuan. Ahli-Ahli bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Penubuhan Jawatankuasa Kira-Kira Raya

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Bilangan 110(2), Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Raya dengan dianggotai seorang Pengerusi dan tidak lebih daripada enam orang ahli sebagaimana berikut:-

Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali sebagai Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Yang Berhormat Tuan Haji Baharudin bin Mohamed Taib (Permas), Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Mutalip bin Abd Rahim (Layang-Layang), Yang Berhormat Tuan Anuar bin Abd. Manap (Pemanis), Yang Berhormat Puan Hajah Hasrunizah binti Hassan (Pulai Sebatang), Yang Berhormat Tuan Chew Chong Sin (Mengkibol), Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Aziz bin Talib (Maharani), Bendahari Negeri Johor, Pengarah Audit Negeri Johor, Jurutulis Dewan Negeri Johor sebagai Setiausaha.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab memeriksa kira-kira yang menunjukkan peruntukan wang yang dikurniakan oleh Dewan Negeri bagi membayar perbelanjaan awam. Memeriksa kira-kira yang dibentangkan dalam Dewan Negeri mengikut sebagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa ini. Memeriksa Penyata Ketua Audit Negara yang dibentangkan dalam Dewan Negeri mengikut kehendak Jumlah Kata (2) bagi Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan. Meneliti apa jua kira-kira yang mungkin dirujukkan oleh Dewan Negeri

kepadanya. Jawatankuasa ini juga dari semasa ke semasa akan mengeluarkan penyata atau laporan hal pemeriksaan yang dilakukan bagi dibentangkan dalam Dewan Negeri. Dan cukup bilang bagi Jawatankuasa ini ialah Pengerusi dan 3 orang ahli. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadangkan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Rundingan Mengenai Pemilihan Ahli Dewan Negara.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pemilihan Ahli Dewan Negara ini sebagaimana Seksyen 1(2) Dalam Jadual Ketujuh (Perkara 45) Perlembagaan Persekutuan berikutan kekosongan satu kerusi Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Dewan Negeri Johor. Dengan demikian, cadangan itu hendaklah disokong dan disertai dengan kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh calon berkenaan menyatakan kesanggupannya berkhidmat jika dipilih dan cadangan itu tidak perlu dibahas. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sila kemukakan cadangan sekarang.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan dan mencadangkan supaya Yang Berbahagia Datuk Lim Pay Hen dipilih oleh Dewan ini menjadi Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun sebagaimana menurut Perkara 45, Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan. Anak jati Jementah yang berumur 65 tahun ini berkelulusan Diploma Perguruan daripada Maktab Perguruan Raja Melewar Negeri Sembilan. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara mulai 4 Disember 2017 hingga 3 Disember 2020. Beliau juga pernah bertugas sebagai Pembantu Khas kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia di antara tahun 2009 dan 2015. Datuk Lim Pay Hen merupakan Ahli Jawatankuasa MCA Pusat sejak tahun 2018 sehingga kini. Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Johor sejak tahun 2014 dan Ketua MCA Bahagian Pagoh dari tahun 2013 sehingga kini.

Dalam bidang politik, beliau merupakan seorang pemimpin MCA yang aktif sejak tahun 1982 dan berpengalaman luas serta sangat dihormati oleh masyarakat Johor kerana penglibatan aktif beliau dalam pelbagai NGO tempatan. Sebelum bergerak aktif di dalam bidang politik, beliau bertugas sebagai seorang guru dan bersara sebagai guru besar pada tahun 2017 setelah berkhidmat selama 37 tahun. Dan dengan ini, saya serahkan pengakuan bertulis yang telah pun ditandatangani oleh calon yang saya cadangkan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini telah menerima rundingan tersebut dan telah pun disokong. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan, Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan; yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Dengan demikian, saya isytiharkan bahawa Yang Berbahagia Datuk Lim Pay Hen adalah dipilih oleh Dewan ini menjadi Ahli Dewan Negara bagi tempoh selama 3 tahun. (Dewan bertepuk). Saya bagi pihak Dewan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Datuk Lim Pay Hen semoga beliau dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negeri sebagai Ahli Dewan Negara.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2022Bill

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan 2022, dibaca kali yang pertama.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2022 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga. Dan, saya membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju.

Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan bagi Perbelanjaan Perbekalan Tahun 2022. Tambahan peruntukan yang dikemukakan adalah sebanyak RM3,854,000.00 sebagaimana yang dimaksudkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan di bawah 4 Jawatankuasa seperti berikut :

1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor RM575,000.00.

2. Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor RM2,010,000.00

3. Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor RM361,000.00

4. Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor RM908,000.00.

Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2022 dan bagi memperuntukan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Speaker

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

JADUAL

Pengerusi

Perkara di hadapan jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM550,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bagi Maksud Bekalan B.03, Dewan Negeri Johor peruntukan tambahan sebanyak RM550,000.00 bagi menampung kekurangan bayaran hadiah lawatan ke luar negara pada 10 orang YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan YB Speaker.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM2,010,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, Bahagian Perumahan itu; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bagi Maksud Bekalan B.03, Perumahan; peruntukan tambahan sebanyak RM2,010,000.00 iaitu RM120,000.00 diperlukan membiayai kekurangan untuk membayar gaji dan upah serta elaun tetap disebabkan pertambahan perjawatan dan merubah struktur pentadbiran, RM1,150,000.00 bagi menampung kekurangan peruntukan perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM720,000.00 bagi menampung kurangan peruntukan aset dan RM20,000.00 bagi membayar bayaran Gantian Cuti Rehat dan kakitangan yang bersara wajib 2022.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM908,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.21, Jabatan Agama Islam itu; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Dewan yang mulia, bagi Maksud Bekalan B.21, Jabatan Agama Islam. Peruntukan tambahan sebanyak RM908,000.00 diperlukan iaitu RM23,000.00 untuk membiayai sewaan dewan dan RM885,000.00 bagi bayaran Perkhidmatan dan Hospitaliti sempena Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2022.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM361,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Bagi Maksud Bekalan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat; peruntukan tambahan sebanyak RM361,000.00 diperlukan untuk membiayai pembayaran Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya kepada petugas-petugas Pusat Pemulihan Dalaman Komuniti (PDK) sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bil. 1 Tahun 2022.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM25,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat itu; hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bagi Maksud Bekalan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat; peruntukan tambahan sebanyak RM25,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi bayaran Gantian Cuti Rehat Kakitangan.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 2

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 1

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Dewan Negeri Bersidang Semula.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2022 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Rundingan itu kemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini adalah Diperundang-Undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut :- Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2022.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Alhamdulilah, selesai sudah Persidangan kali ini. Saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri dan ketua-ketua jabatan yang menjayakan Persidangan ini. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti, selamat berehat, jumpalah kaum keluarga, saya pun tak sabar jumpa isteri pertama saya, Yang Amat Berhormat Machap saya ada satu isteri itulah yang pertama, ya. Dan, saya merasa amat bangga dengan perjalanan Persidangan kita yang berjaya selama seminggu ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12.45 tengah hari.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Tuan Haji Zainal bin Eran

Penolong Jurutulis Encik Azlan Afandi bin Sauffee Afandi Puan Siti Nur Liyana binti Abdul Mutalib

Koordinator Cik Norzita binti Abdul Aziz

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Fareza bin Musa Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Junaidah binti Paing Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Siti Rojimah binti Abd Razak Puan Norazilawati binti Masri Puan Shuriati binti Hajar Puan Norlydialina binti Isnin Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail

Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar