Johor · 22 September 2022

1st session, 3rd meeting · not final · 149 turns · 13,272 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat diucapkan selamat kembali ke Dewan Negeri Johor untuk Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Walaupun kita bersidang sehari, Dewan yang mulia ini tetap perkasa jika disulam dengan pertanyaan-pertanyaan lisan yang merakyat, jawapan yang berkualiti dan berakauntabiliti serta perbahasan yang konstruktif. Mari kita teruskan tradisi check and balance, dengan izin yang berintegriti semoga kestabilan dapat dipertahankan, Johor dan Bangsa Johor mendapat manfaatnya.

Tahniah kepada JDT kerana menjadi Juara Piala FA (Dewan bertepuk). Mari kita berdoa agar Kontijen Harimau Selatan menjadi juara SUKMA buat kali pertama (Dewan bertepuk) dan mencapai sasaran baru 70 pingat emas. Semoga jangan ada pula orang utara yang berguling-guling kehampaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, semoga kita dapat bersidang dengan jayanya pada hari ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dukacita dimaklumkan Yang Berbahagia Dato’ Jaafar bin Hamzah, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli Dewan Negeri Kawasan Tiram yang telah berkhidmat mulai 08 Julai 1978 hingga 28 April 1982, telah kembali kerahmatullah pada 21 Julai 2022.

Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dato’ Jaafar bin Hamzah. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bagi orang-orang Islam membacakan Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur selama satu minit. Al-Fatihah (berdiri). Terima kasih.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Haji Pandak bin Ahmad, Ahli Dewan Negeri Kawasan Kota Iskandar yang telah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran “Datuk” sempena Hari Jadi Ke-73, Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka Tahun 2022 pada 24 Ogos yang lalu. Terima kasih.

Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 24 hingga 27 Tahun 2022.

Bilangan 24 Tahun 2022 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Kedua Tahun 2022.

Bilangan 25 Tahun 2022 - Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2022.

Bilangan 26 Tahun 2022 - Laporan Tahunan 2020 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor. Bilangan 27 Tahun 2022 - Laporan Ketua Audit Negara Johor Tahun 2021 dan Penyata Memorandum mengenai :

• Aktiviti Jabatan / Agensi Kerajaan Negeri Johor Tahun 2021 Siri 1.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat Bilangan 28 hingga 29 Tahun 2022.

Bilangan 28 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Perbadanan Taman Negara Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019. Bilangan 29 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Perbadanan Taman Negara (Johor) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 30 Tahun 2022.

Bilangan 30 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Perbadanan Stadium Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat Bilangan 31 Tahun 2022.

Bilangan 31 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Yayasan Pelajaran Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Benut, dijemput.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan yang pertama.

Minta diperincikan pelaburan sebanyak RM60.9 bilion yang diterima Johor dan peratusan pelaksanaan pelaburan-pelaburan tersebut?

Speaker

Yang Berhormat Sungai Balang, jemput.

Tuan Haji Selamat Bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.

Baru-baru ini negeri Johor telah diumumkan menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM60.9 billion. Justeru apakah manfaat yang bakal dirasai oleh rakyat negeri ini?

Speaker

Yang Berhormat Pulai Sebatang, dijemput.

Puan Hajah Hasrunizah Binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 3.

Tahniah Kerajaan Negeri Johor. Pertama kali dalam sejarah, berjaya mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam negara, iaitu RM60.9 bilion bagi separuh tahun ini. Bagaimanakah kerajaan negeri akan memastikan pelaburan ini memberi impak positif dan memanfaatkan seluruh Bangsa Johor?

Speaker

Yang Berhormat Pemanis, dijemput.

Tuan Anuar Bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 4.

Bagaimanakah kerajaan mengagihkan pelaburan RM60.9 bilion disetiap daerah terutama di kawasan utara Johor? Nyatakan jenis dan jumlah pelaburannya serta apakah perancangan jangka panjang kerajaan bagi memastikan pelaburan di Johor terus meningkat pada masa akan datang

Speaker

Yang Berhormat Tiram, dijemput.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 5.

Baru-baru ini, negeri Johor telah diumumkan sebagai penyumbang pelaburan yang tertinggi di Malaysia iaitu bernilai RM60.9 bilion. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri. Apakah peluang atau ruang yang boleh rakyat Johor nikmati daripada pelaburan yang tinggi ini?

Speaker

Silakan Yang Amat Berhormat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab soalan Yang Berhormat Benut, Pemanis, Tiram, Sungai Balang dan Pulai Sebatang secara bersekali.

Speaker

Silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Ini kerana kesemua soalan mereka berkisar mengenai pencapaian Johor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara iaiatu berjumlah RM60.9 billion. (Dewan bertepuk). Untuk makluman Dewan yang mulia ini, jumlah ini adalah hampir separuh daripada jumlah pelaburan negara iaitu sebanyak RM123.3 billion. Syukur alhamdulillah, angka ini mewakili 222 projek dan merupakan peningkatan sebanyak 822% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Kain benang kemas terikat, jadi hiasan teruna dan dara, berdaya tahan menyemai sepakat, pelaburan tertinggi dalam negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, 26 Jun yang lalu, telah saya kongsikan di dalam Dewan yang mulia ini, tekad dan iltizam kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030. Bagi mencapai matlamat dan cita-cita tersebut ia tidak membenarkan gerak kerja seperti lazimnya, business cannot be as usual. Sebaliknya, ia menuntut kepada anjakan paradigma dan katalis yang boleh merangsang ekonomi kita seperti Datuk Speaker sebut tadi, kalau kita tak pecah ruyung manakan mungkin dapat sagunya. Kita perlu menarik pelabur-pelabur yang berkualiti seperti di sektor oil and gas, petrochemical, data centres, industri elektrik dan elektronik di samping mengembangkan

industri makanan ataupun food bank kita dan berkat gembelingan tenaga semua pihak, Johor kembali menjadi nombor satu. Syukur Alhamdulillah.

Pada kesempatan ini patik ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa menasihati kerajaan untuk memberi fokus kepada ekonomi negeri demi kemakmuran rakyat Johor. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan kepimpinan yang lalu. Tidak lupa juga kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan. Yang Berhormat YB Ling Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbiran Tanah Johor dan semua agensi dan GLC yang telah banyak membantu dalam mencatatkan angka yang bersejarah ini. Kita tak ubah ibarat bidalan orang lama, sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, ibarat telur dua sebandung, pecah sebiji, pecah keduanya. Sesungguhnya ini adalah berkat kemuafakatan dan komitmen semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, angka yang saya bentangkan tadi adalah pelaburan komited yang sedang, yang telah disahkan oleh MITI dan juga MIDA, yang sedang dan akan direalisasikan dalam jangka masa beberapa tahun. Daripada jumlah RM60.9 billion ini pelaburan asing adalah sebanyak RM51.7 billion manakala pelaburan domestik pula adalah sebanyak RM9.13 billion. Prestasi pelaburan yang diterima juga menyaksikan lonjakan pelaburan dalam sektor perkhidmatan kepada RM54.2 billion dengan 152 projek di mana ia bakal memainkan peranan penting dalam pemacuan pemulihan ekonomi negeri. Sektor perkilangan pula turut merekodkan nilai pelaburan yang memberangsangkan dengan RM6.7 billion melalui 68 projek. Bagi pelaburan dan projek baki adalah dalam sektor utama ataupun primary sector.

Di bawah sektor perkhidmatan, sub-sektor yang paling banyak menyumbang kepada pelaburan ialah maklumat dan komunikasi, perkhidmatan sokongan teknologi hijau serta perkhidmatan sokongan logistik. Tiga sub-sektor teratas bagi pengilangan pula ialah peralatan saintifik dan pengukuran kimia dan produk kimia serta elektrikal dan elektronik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pencapaian ini tidak lain, tidak bukan membuktikan bahawa Johor mempunyai ekosistem perniagaan yang kondusif dan mampu menarik pelaburan berkualiti serta berteknologi dan berimpak tinggi. Kesemua 220 projek yang dicapai ini juga bakal menyumbang kepada 7,421 peluang pekerjaan baru bagi rakyat Johor. Di samping memberi kesan berimpak tinggi yang ketara di dalam negeri.

Bagi sektor perkhidmatan kebanyakan pekerjaan yang akan ditawarkan adalah untuk mereka yang berkemahiran tinggi, membawa peluang-peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam masa yang sama terdapat juga lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi bagi kategori separuh mahir. Pelaburan sebegini akan memberi limpahan ekonomi kepada industri sokongan yang terlibat dalam pelaburan sedia ada, dapat meningkatkan jumlah peluang pekerjaan secara am di Johor dan akan dapat membawa manfaat kepada para peniaga tempatan seperti dari industri makanan dan pelancongan dalam negeri. Selain daripada impak langsung dari segi perjalanan peranan aktiviti-aktiviti ekonomi pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat pelaburan yang berjaya ditarik masuk ini sudah pasti turut menyumbang dalam bentuk pendapatan cukai tanah dan juga cukai harta. Hasil ini akan turut digunakan untuk meningkatkan kemudahan dan kemajuan negeri Johor.

Sebagai contoh, melalui inisiatif yang dijalankan iaitu Kulai Fast Lane, pihak Majlis Perbandaran Kulai menjangkakan bakal memperolehi sehingga RM14 juta pertambahan

hasil baru. Ini termasuk kutipan yuran kebenaran merancang, bayaran pelan kejuruteraan, pelan pembangunan dan cukai harta tahunan daripada pemilik-pemilik industri yang akan beroperasi di daerah Kulai. Pelaburan yang berkualiti di dalam negeri Johor ini secara tidak langsung akan menggalakkan pemindahan teknologi dan peningkatan kemahiran kepada pasaran pekerjaan domestik. Selain itu, Johor akan terus memperbaiki struktur ekonomi terutamanya yang melibatkan peningkatan tahap produktiviti dalam negeri. Meskipun sebahagian besar pelaburan yang kita kecapi pada separuh tahun ini adalah pelaburan asing yang berteknologi tinggi, saya dapati pelaburan seperti dalam sektor pharmaseutical juga dapat membuka peluang kepada vendor tempatan untuk turut serta dalam rantaian global syarikat yang terlibat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan kemasukan para pelabur yang berkualiti ke Johor pada masa akan datang, kerajaan negeri merangka beberapa inisiatif bagi memperkasa aktiviti pelaburan iaitu :

1. Memperkasakan peranan Invest Johor sebagai agensi utama kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk membawa masuk para pelabur dari dalam dan juga luar negara.

2. Memperhebatkan lagi Johor Investment Committee (JIC) dan Johor Economic Tourism and Cultural Office (JETCO) yang berada di bawah seliaan Invest Johor selaku urus setianya. Ini kerana JIC dan juga JETCO berfungsi sebagai pemudahcara antara agensi kerajaan negeri serta persekutuan dan pihak pelabur bagi membincangkan serta menyelesaikan isu dan perkara berbangkit.

3. Merancang misi pedagangan serta pelaburan strategik dan berfokus yang disasarkan bagi meraih pelaburan dan industri berteknologi tinggi. Inovasi serta penyelidikan yang akan melengkap dan mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri Johor.

4. Memperluaskan inisiatif Kulai Fast Lane. Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan yang dijenamakan sebagai Johor Fast Lane.

5. Menyokong agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memberi keyakinan serta memastikan para pelabur selesa berniaga di sini dan dapat menjalankan operasi secara mampan.

6. Meningkatkan lagi usahasama bersama pelbagai agensi persekutuan seperti MIDA, MITI, IRDA, ECERDC, JPDC serta rakan-rakan strategik yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu kerajaan negeri juga sedang melihat untuk mempelbagaikan lagi fasa-fasa pelaburan berteknologi tinggi. Johor telah mencapai pelaburan yang tinggi menerusi penubuhan pusat data ataupun data centres. Namun, bagi mengekalkan pelaburan pusat data ini kerajaan negeri perlu melihat kepada rantaian ekosistem yang terhasil daripada ekonomi ini. Ini termasuklah memadankan pelanggan yang berpotensi dengan pusat data. Kerajaan negeri juga menggalakkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam membangunkan lagi industri di negeri Johor. Pada fasa ini industri pusat data boleh berkolaborasi dengan institut pengajian tinggi tempatan selain pemindahan ilmu teknologi yang akan dilakukan, IPT juga dapat mengenalpasti keperluan industri dan dapat mengurangkan ketidakpadanan pekerjaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sedar dan insaf bahawa banyak lagi yang perlu dilaksanakan. Kerajaan negeri akan terus komited dan berusaha untuk meningkatkan lagi pelaburan yang masuk ke negeri Johor Darul Ta’zim, Insya-Allah.

Dari Mersing datang bermudik, mencari tempat melabuhkan sauh, negeri teladan segenap aspek, pelaburan tertinggi hasil bersungguh.

Dibilang nama Permata Selatan, bangsa berbudi luhur hatinya, pelaburan tertinggi Johor catatkan, melunas impian maju seluruhnya.

Sekian, terima kasih.

Speaker

Tahniah Yang Amat Berhormat di atas kemasukan pelaburan yang tertinggi. Sila, Yang Berhormat Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tahniah Yang Amat Berhormat dan juga kerajaan negeri di atas usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan juga domestik ke negeri Johor. Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan, saya yakin Johor terus akan dapat mempertahankan trend menaik dalam pelaburan asing dan juga domestik.

Berdasarkan penjelasan Yang Amat Berhormat tadi jelas yang menunjukkan lebih kurang 6,000 pekerjaan akan disediakan. Dan, sektor-sektor pelaburan yang kita terima China, saya dimaklumkan menyumbang, negara China menyumbang sebanyak 40 bilion, negara kedua terbesar ialah negara Singapura.

Soalan tambahan saya Yang Berhormat Datuk ialah, Johor harus menyambut baik usaha kerajaan Singapura sebagai contoh untuk menjadikan negara tersebut bebas karbon dan melaksanakan Singapore Green Plan 2030 secara komprehensif. Jadi, bolehkah saya bertanya dengan Yang Amat Berhormat, adakah dalam strategi pelaburan oleh kerajaan negeri untuk merebut peluang daripada usaha kerajaan jiran kita kerana saya yakin itu adalah salah satu sektor-sektor strategik yang boleh menambahbaik pelaburan ke negeri kita, Johor. Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Benut atas soalan yang baik itu. Dari segi untuk memastikan bahawa pelaburan terus masuk ke negeri Johor, teknologi hijau sangat penting. Pelan Mampan juga sangat penting untuk menarik pelabur-pelabur daripada luar negara kerana the factor of EFG Yang Berhormat Benut sangat penting untuk pelabur-pelabur di peringkat antarabangsa. Sebab itu, Alhamdulillah di antara insiatif yang telah dibuat semasa kerajaan kita memimpin pada kali ini ialah untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat, menteri-menteri di Singapura seawal bulan April baru-baru ini Yang Berhormat. Dan, Alhamdulillah berkat hubungan baik kerajaan dengan, kerajaan negeri Johor dengan kerajaan negeri Singapura, berlakunya sesi-sesi dialog di antara kerajaan negeri dan juga kerajaan Singapura. Sebagai contoh, kita telah berjumpa dengan The Minister of Transport dan juga Mr. Lawrence yang juga kawan baik Yang Berhormat Benut, di mana mereka bersetuju untuk berkongsi teknologi yang terkini yang digunakan oleh Singapura. Sebagai contoh, dari segi penggunaan kereta mereka pada tahun 2030, mereka tidak akan lagi menggunakan kereta-kereta fuel, lebih kepada kereta-kereta elektrik. Jadi, dengan itu kita bersama dengan Yang Berhormat EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan juga YB Lee sebagai EXCO Pelaburan telah bertukar-tukar maklumat macam mana kita nak pastikan bahawa ada keselarian bila kereta daripada Singapore masuk ke negeri Johor, insya-Allah.

Jadi, bukan itu sahaja Yang Berhormat, daripada segi Green Bulding Technology mereka ataupun dari segi Pelan Pembangunan Perumahan mereka, kita juga mendapatkan sedikit maklumat daripada kerajaan Singapura macam mana dia buat untuk sustainable development di negara Singapore dan insya-Allah penanda arasnya agak tinggi tetapi kita cuba mengikut apa yang telah kita bincangkan dengan Singapura, insya-Allah. Sekian, terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Silakan Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Saya mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkaitan dengan pelaburan yang saya kira berimpak tinggi ini. Namun, saya ingin bertanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, apakah sebenarnya, adakah apa-apa cadangan daripada kerajaan negeri bagi memastikan pelaburan yang disebut tadi itu boleh sampai ke kawasan luar bandar terutamanya di kawasan utara negeri Johor seperti di DUN Pemanis. Oleh kerana kita tahu daerah Segamat kini telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada ECER, jadi mungkin pelaburan-pelaburan yang berjumlah RM60.9 bilion ini sebahagiannya boleh diletakkan di sebelah utara negeri Johor dan di kawasan luar bandar ini. Terima kasih Datuk Speaker.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Pemanis di atas soalan tentang bagaimana pelaburan ini boleh memberi kesan yang positif kepada kawasan luar bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi pelaburan yang sedia ada ini ia bagi kita kerajaan ini merupakan fasa yang pertama. Ada banyak lagi fasa yang kita akan buat untuk memastikan bahawa impaknya tetap berterusan dan sampai ke luar bandar. Dan antara inisiatif yang ada, yang sudah dibuat, sedang dan akan dibuat ialah melalui pertmanya, memperkukuhkan lagi aktiviti pertubuhan luar bandar menerusi 4 wilayah koridor utama. Kita ada 4 koridor utama. Pertamanya, ialah melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai peneras utama pembangunan Iskandar Malaysia. Selain itu kita ada ECERDC, Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan ketiganya ECERDC, oh, untuk ECERDC ini juga sukacita saya nak laporkan bahawa insya-Allah Segamat akan dimasukkan di bawah Wilayah ECERDC dalam masa terdekat. Alhamdulillah, sudah diluluskan di peringkat Dewan Negara dan akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam masa terdekat, insya-Allah.

Kita juga mempunyai Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) yang telah menerima peruntukan sebanyak RM203.5 juta. Ini melibatkan kawasan seperti Kluang, Kota Tinggi dan sebagainya. Untuk wilayah yang seterusnya Wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (INTGT). Ini bersesuaian kerana ia turut menjalinkan kerjasama dengan Indonesia, Kepulauan Riau Sumatera Barat, tanah semenanjungnya akan memberi kesan terhadap daerah Pontian dan Batu Pahat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun tidak berada di dalam mana-mana Wilayah Koridor namun saya ingin menyebut bahawa Muar dan juga daerah Tangkak adalah antara koridor yang sangat penting untuk negeri Johor. Ia adalah gerbang utama utara Johor dan dengan itu kerajaan negeri berhasrat selain daripada industri perabotnya, kita nak jadikan industri pelancongan antara yang terhebat di negeri Johor, insya-Allah.

Speaker

Jangan lupa Batu Pahat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Baik Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara kedua yang saya ingin tekankan ialah perkara pokok yang perlu dilihat oleh kerajaan negeri untuk memastikan bahawa pembangunan dan juga pelaburan pergi sampai ke kawasan-kawasan luar bandar ialah infrastrukturnya. Penyediaan infrastruktur asas yang baik seperti jalan, air, elektrik dan juga internet akan membantu kita menarik pelaburan-pelaburan yang berimpak tinggi ini. Saya ingin melaporkan bahawa, saya difahamkan EPU dan juga MOF ya, Tan Sri SS pun dah angguk, insya-Allah dalam bajet yang akan datang ini ada berita baik untuk negeri Johor. Dan, insya-Allah lebuhraya utara selatan Yong Peng ke Skudai, insya-Allah lebuhraya Senai ke Desaru bakal diumumkan

dalam masa terdekat. Sama-sama kita doakan. (Dewan bertepuk.) Kita doa tak tukar kerajaan cukuplah, insya-Allah perkara itu akan diteruskan.

Yang ketiga, Yang Berhormat Datuk Speaker ialah pembangunan modal insan sebagai faktor utama dalam menjana mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri ini. Kita sedia maklum bahawa peluang pekerjaan ini penting untuk mereka yang berada di dalam bandar dan juga luar bandar. Jadi, di peringkat kerajaan negeri, di bawah EXCO Belia dan Sukan, sedang menyiapkan satu forum untuk memastikan dan hubungan strategik bersama industri players untuk memastikan bahawa peluang-peluang pekerjaan ini bukan sahaja untuk mereka yang berada di bandar tetapi juga di luar bandar. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Tiram,

Terima kasih Yang Berhormat...

Speaker

YB Perling minta maaf. Saya utamakan dulu yang bertanya soalan.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, terutamanya saya nak ucapkan tahniah, setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri di atas pencapaian pelaburan tertinggi dalam negara yang mencatatkan. Soalan tambahan saya mungkin Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh berkongsi dalam Dewan yang mulia ini, apakah sebenarnya kekuatan dan kelebihan yang ada dalam negeri Johor ini yang mendorong para pelabur kita ni dan yakin menjadikan negeri Johor ini sebagai destinasi utama pelaburan mereka? Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Tiram atas soalan yang baik itu. Apakah kelebihan ataupun keistimewaan yang menyebabkan ramai orang datang melabur ke negeri Johor. Bila saya berbincang dengan YB Lee selaku EXCO Pelaburan, yang penting ialah kestabilan (Dewan bertepuk). Kita lihat, alhamdulillah bila berjumpa dengan rakan-rakan daripada Singapura, daripada negara-negara lain yang ingin melabur antara perkara pokok yang mereka lihat ialah kestabilan. Dan, syukur alhamdulillah berkat usaha semua selepas pilihanraya negeri, Johor kembali stabil apabila mendapat 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. (Dewan bertepuk.) Dan sebab itu, kita juga sedar dan insaf bahawa kestabilan semata-mata tidak mencukupi hala tuju untuk negeri Johor ini jelas iaitu untuk memastikan kita menjadi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030. Sebab itu kita telah memastikan bahawa Enam Teras Maju Johor itu kita laksanakan sekarang ini sebaik mungkin untuk menarik lagi pelabur-pelabur. Kita adalah sebuah negeri yang bisnes dan juga investor friendly, insya-Allah. Sebab itu dari segi keperluan-keperluan asas yang diperlukan oleh pelabur-pelabur, kilang-kilang dan juga industri-industri seperti jalan raya, highway, elektrik, internet dan sebagainya diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri ini supaya mereka dapat berniaga dan melabur dalam keadaan yang kondusif.

Selain itu, seperti apa Yang Berhormat Benut tadi kita memberi penekanan kepada Teknologi ESG dan hubungan antara kita dan juga negara-negara jiran sangat penting dan mereka melihat kita sebagai rakan strategik untuk sama-sama kita membangunkan Singapura, negeri Johor secara kondusif, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya pergi pada soalan seterusnya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati, 2 orang daripada pejabat ADUN Rengit dan 5 orang daripada pejabat ADUN Pasir Raja. Saya jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan penting saya rasa, minta Menteri Besar jawab... Minta Datuk Speaker bagi peluang.

Speaker

Soalan tambahan ke Yang Berhormat?

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Ha, soalan tambahan berkenaan pelaburan.

Speaker

Ok, oleh kerana soalan isu pelaburan ini adalah isu yang penting, saya benarkan, silakan Yang Berhormat Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Memang ini berita baik bahawa Johor dapat komitmen pelaburan begitu banyak, soalan saya kepada Yang Amat Berhormat ialah adakah kita membuat penilaian berkenaan dengan penggunaan tenaga dan penggunaan air, water usage dan electricity usage, dan mengkaji adakah sebahagian daripada pelaburan ini berbaloi? Seperti kalau data centre adakah pelaburan data centre ini berbaloi dengan kadar rendah harga elektrik kita ataupun mungkin kita perlukan penilaian yang lain.

Kedua, ialah dari segi pekerjaan. Matlamat kita mendapat pelaburan, bukan hanya untuk pelaburan, it is not for the seek of having investment tetapi untuk mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, itu matlamat untuk kita mengadakan pelaburan, bolehkah kerajaan negeri bersedia, adakah kerajaan negeri bersedia untuk memberikan penilaian bagaimana pelaburan baru ini dan apa kesan pelaburan baru ini terhadap industri-industri dan syarikat-syarikat yang sedia ada, adakah ini akan menjadi saingan dari segi mendapat pekerja dan kepada industri-industri dan syarikat-syarikat sedia ada dan bagaimana kita bantu syarikat-syarikat sedia ada untuk mendapat pekerja? Dan, dalam saingan kita dengan Singapura dari segi pekerjaan, dari segi mencari pekerja, kita sudah menghadapi masalah yang serius dari segi kekurangan pekerja, bagaimana kita menyelesaikan masalah untuk syarikat yang sedia ada dan juga bantu mereka yang akan datang. Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Perling atas soalan saya cuba rumuskan apa yang ditanya, panjang juga soalan tadi, dua soalan ya. Patutnya, Yang Berhormat Speaker, satu soalan tapi disebabkan ini adalah soalan penting saya cuba jawab dua-dua. Pertamanya, ialah tentang usage of water, utilities dan sebagainya sama ada ia mencukupi.

Yang Berhormat Speaker, peringkat kerajaan negeri kita telah buat task force. Task force untuk memastikan bekalan air, electricity mencukupi di negeri Johor dan di dalam Dewan yang mulia ini, saya nak bagi keyakinan kepada semua yang berada bahawa Johor mempunyai elektrik dan air yang mencukupi untuk memastikan pelaburan terus masuk ke negeri Johor. (Dewan bertepuk.)

Keduanya, ialah tentang labour intensive dari segi peluang pekerjaan untuk anak-anak muda kita dan sebagainya. Kita melihat dan juga berjumpa dengan pelabur-pelabur, industri-industri yang sedia ada dan industri ataupun kilang-kilang dan juga services yang nak masuk ke negeri Johor. Kita dah berjumpa Yang Berhormat Datuk Speaker dan mereka ada menyuarakan kebimbangan kerana bukan sahaja di Johor tetapi di Malaysia secara keseluruhan ramai anak-anak kita yang kurang minat ke sains dan teknologi ataupun STEM dan hasil dapatan itu sebab itu YB Hairi, YB Norlizah dan juga YB Lee sedang menggerakkan satu task force melibatkan semua pemegang-pemegang taruh untuk duduk semeja termasuklah academicians, industry players dan juga GLC-GLC dan juga jabatan-jabatan supaya kita dapat rungkaikan masalah ini dan juga menyelesaikan bersama.

Tetapi Yang Berhormat Speaker, saya nak tekankan ialah isu ini ialah isu negara sebenarnya. Dan ia juga sekali lagi melibatkan bantuan di peringkat pusat. Sebab itu agensi-agensi daripada pusat pun akan terlibat dalam kita nak menyelesaikan masalah ini. Tapi dari segi peluang pekerjaan tadi, seperti yang saya sebut dan juga YB Benut sebut tadi peluang

pekerjaan untuk data centres dan juga industri-industri yang melabur, yang melibatkan RM60.9 bilion ini melibatkan peluang-peluang yang menghasilkan peluang-peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi, pada masa yang sama untuk mereka yang berpendapatan yang rendah pun kita tak lupa. PERKESO telah melaporkan sekarang ini ada 50,000 peluang pekerjaan dan permintaan sekarang ini di Johor lebih kurang 36, harap menjawab soalan, sekian terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat. Saya persilakan Yang Berhormat Simpang Jeram.

Datuk Seri Haji Salahuddin Bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Datuk Speaker, soalan saya yang ke 6.

Nyatakan di manakah tahap jaminan keselamatan makanan di negeri Johor?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah Binti RamliUMNO · BNParit Raja

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 7.

Mohon dinyatakan inisiatif kerajaan Negeri Johor melalui pengukuhan bekalan makanan untuk menghadapi inflasi yang dijangka melanda negara.

Speaker

Yang Berhormat Permas, dijemput.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 8. Terima kasih. Bilakah kerajaan dapat mengumumkan kejayaan dari segi jaminan makanan mencukupi pada masa akan datang?

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Seri Medan.

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 9. Adakah sektor pertanian masih menjadi fokus kepada kerajaan negeri dan apakah langkah-langkah kerajaan negeri bagi membantu petani bagi menjayakan FOOD SECURITY PROGRAM yang diilhamkan oleh kepimpinan terdahulu?

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Simpang Jeram, Parit Raja, Permas dan Yang Berhormat Seri Medan secara bersekali kerana soalan-soalan ini mempunyai maksud yang hampir sama dan saling berkait.

Speaker

Silakan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Untuk tujuan rekod dan makluman Dewan yang mulia, sektor pertanian merupakan antara sektor industri pemacu utama ekonomi negeri Johor. Berdasarkan laporan sosio-ekonomi negeri Johor 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pertanian menyumbang 12.9% kepada keseluruhan KDNK Johor dengan nilai KDNK sektor pertanian adalah sebanyak RM17 bilion. Merujuk kepada Code Score Agro Makanan Negeri Johor 2020, Johor merupakan pengeluar buah-buahan terbesar di negara ini, pengeluar kedua terbesar sayur-sayuran serta pengeluar ayam terbesar dan pengeluar susu segar kedua terbesar dalam negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan atau MAHFI melaporkan bekalan makanan negara bagi bulan September ini bagi 8 komoditi utama diunjurkan kekal stabil dan mencukupi. 8 komoditi tersebut adalah beras, daging ayam, daging lembu atau kerbau, telur, susu segar, ikan, buah dan sayur. Kerajaan Negeri Johor amat menekankan hal-hal berkaitan sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan yang ditakrifkan sebagai keadaan yang mana semua orang mempunyai akses ketersediaan, kebolehcapaian, kepenggunaan dan kestabilan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat. Sehubungan itu, kerajaan negeri Johor telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan strategi-strategi berkaitan sekuriti makanan atau jaminan bekalan makanan dapat dicapai selaras dengan program-program yang diilhamkan oleh kerajaan negeri sebelum ini di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor ke-18.

Kerajaan Negeri Johor menerusi sekuriti, Kerajaan Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negeri Johor bertindak sebagai platform bagi membincangkan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan sekuriti makanan, sektor pertanian, strategi pemasaran hasil pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani bagi membantu meningkatkan pendapatan dan tahap sosio-ekonomi masyarakat terutama sekali bagi golongan petani, penternak dan nelayan. Jawatankuasa ini ditubuhkan sebagai badan penasihat dan pelaksana tertinggi kepada kerajaan Johor dalam menyelaras strategi dan rancangan tindakan dalam menangani masalah keselamatan makanan dalam jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

Selari dengan cadangan sinergi antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Peringkat Daerah dan Jawatankuasa Pengeluaran Tanah Pertanian Peringkat Daerah. Penubuhan Jawatankuasa Pengeluaran Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan dan untuk membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bagi membolehkan keluasan tanah pemilik dan status tanah dapat di kenal pasti. Pengenalpastian ini membolehkan tanah-tanah yang boleh dibangunkan, diusahakan dengan terancang dan optimum untuk pengeluaran tanaman makanan.

Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai platform bagi membincangkan kaedah dan mekanisme pengambilan, penggunaan atau penyewaan tanah-tanah yang belum dibangunkan. Pembangunan tanah-tanah ini akan membuka peluang kepada penduduk tempatan mengusahakan tanaman makanan secara sah dan meningkatkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat. Kerajaan negeri Johor juga melalui task force tanah-tanah pertanian negeri Johor sedang meneliti, menilai dan mengkaji semula dasar serta polisi tanah-tanah pertanian di bawah program Zon Pelaburan Makanan Negeri Johor atau ZPM, Program Zon Tanaman Makanan Negeri Johor atau ZTM dan Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan Negeri Johor atau TKPM bagi mengoptimumkan penggunaan tanah untuk tujuan pertanian khasnya sebagai tanaman makanan dalam menyokong agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, kerajaan negeri Johor melalui peruntukan Bajet Pembangunan Negeri Johor telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar setiap tahun untuk memperkasa sektor pertanian negeri Johor. Sebagai rekod untuk tahun 2022, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta yang merangkumi 32 projek di bawah pelbagai jabatan. Antara inisiatif tersebut adalah pertama, membangunkan industri pengeluaran tanaman makanan utama iaitu tanaman buah-buahan jangka pendek, tanaman sayur-sayuran, tanaman kontan, tanaman kelapa dan taman agro-makanan yang akan diperkasakan dengan peruntukan sebanyak RM2.9 juta. Yang kedua, sebanyak RM2.14 juta disalurkan bagi Program Pembangunan Industri Asas Tani bertujuan meningkatkan tahap kemahiran dan produktiviti usahawan industri asas tani dalam aspek operasi dan pengeluaran, pengurusan perniagaan dan pemasaran yang lebih sistematik. Yang ketiga, RM420,000.00 bagi Pembangunan Industri Tenusu dan Pembiakbakaan yang berpotensi untuk melengkapkan rantaian bekalan makanan dan yang keempat, RM1.33 juta bagi Program Kawalan Penyakit dan Kesihatan Ternakan merangkumi pengawalan dan pembasmian penyakit ternakan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 penternak.

Selain itu, atas usaha dan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34.56 juta melalui Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA bagi pelaksanaan tahun 2021 dan 2022 untuk merancakkan semula sektor pertanian dan agro-makanan negeri Johor. Melalui peruntukan PENJANA ini, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah diperuntukkan sebanyak RM16.6 juta, Jabatan Perikanan Negeri Johor sebanyak RM2 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor sebanyak RM5.5 juta, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia sebanyak RM900,000.00, Lembaga Pertubuhan Peladang sebanyak RM500,000.00 dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sebanyak RM9 juta. Peruntukan-peruntukan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 6,034 orang petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani (IAT) keseluruhannya bagi negeri Johor. Kerajaan negeri sentiasa memantau progres pelaksanaan agar manfaat secara optimum dapat dicapai.

Dengan insentif-insentif melalui peruntukan bajet pembangunan negeri Johor setiap tahun dan juga peruntukan PENJANA bagi tahun 2021 hingga 2022 ini, ianya akan memperkukuhkan pembangunan sektor pertanian sekaligus dapat mempertingkatkan kualiti dan produktiviti pengeluaran hasil sektor pertanian negeri Johor menjelang tahun 2025 hingga 2027.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, kerajaan negeri mungkin tidak boleh mengumumkan bila kecukupan bekalan makanan ini secara spesifik seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permas. Namun, bagi memperkasa Johor sebagai Food Basket kepada Malaysia dan Food Bank kepada negara-negara serantau, kerajaan negeri Johor menerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani telah menetapkan 7 KPI atau sasaran dalam tempoh 5 tahun yang menjadi fokus terutamanya bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan agro-makanan serta keseluruhannya.

Tujuh KPI ini adalah pertama, mewujudkan Dasar Agro-Makanan Negeri Johor 2022 hingga 2030 yang akan menjadi panduan kepada pelaksanaan strategi-strategi utama untuk perkembangan dan pembangunan industri agro-makanan yang bakal memodenkan sektor agro-makanan Johor. Yang kedua, meningkatkan pengeluaran industri tanaman makanan utama dengan sasaran peningkatan pengeluaran buah-buahan utama negeri Johor sebanyak 32.46% dalam tempoh 5 tahun iaitu 716,000 metrik tan bagi tahun 2022 kepada 948,000 metrik tan pada tahun 2027 dan sasaran peningkatan pengeluaran sayur-sayuran utama sebanyak 32.87% iaitu daripada 136,000 metrik tan 2022 kepada 181,000 metrik tan pada tahun 2027. Yang ketiga, meningkatkan pengeluaran industri perikanan terutamanya industri perikanan akuakultur dengan sasaran peningkatan 62% produktiviti hasil pertanian akuakultur pada tahun 2027 iaitu peningkatan daripada unjuran 23,932 metrik tan kepada

38,783 metrik tan pada tahun 2027. Yang keempat, meningkatkan pengeluaran industri tanaman ruminan dan tenusu dengan sasaran peningkatan populasi penternakan ruminan sekurang-kurangnya sebanyak 22.4%. Bagi mengurangkan kebergantungan negeri, saya harap penggunaan daging import dengan berlakunya penambahan pengeluaran daging tempatan. Dan peningkatan pengeluaran hasil tenusu semasa iaitu daripada 9 juta liter setahun ketika ini kepada 16 atau 17 juta liter setahun pada tahun 2025. Yang kelima, memperkasa usahawan industri asas tani (IAT). Yang keenam, memperkasa 1,000 usahawan belia tani dalam tempoh 5 tahun dan yang ketujuh, memperkukuh ekosistem rantaian bekalan makanan bersepadu dan penghasilan produk agro-makanan berkualiti tinggi dengan membangunkan pusat pengumpulan pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran (CPPDC) yang meliputi daerah selatan, tengah dan utara Johor.

KPI atau unjuran yang disasarkan ini akan disokong oleh peruntukan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi membangunkan sektor pertanian dan agro-makanan dalam negeri Johor. Selain itu, kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya pemain-pemain utama sektor pertanian turut menjadi fokus bagi mewujudkan kolaborasi antara pengusaha-pengusaha kecil demi manfaat keseluruhannya. Dan yang paling penting pula usaha untuk meningkatkan tahap sosioekonomi para pengusaha sektor ini ia menjadi keutamaan.

Secara keseluruhannya Yang Berhormat Dato’ Speaker dari maklumat-maklumat yang saya sampaikan tadi menunjukkan jaminan bekalan makanan negeri Johor pada masa ini adalah berada pada tahap yang baik. Namun kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan peningkatan pengeluaran dan kualiti produk yang dihasilkan. Kebergantungan kepada sumber bekalan yang diimport adalah merupakan pelan tindakan jangka pendek. Pembangunan yang memberi fokus kepada pengeluaran tempatan akan dipergiat dengan penggunaan sumber secara optimum dengan mengamalkan teknologi di semua peringkat. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Simpang Jeram.

Datuk Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Dato’ Speaker, food security ataupun keselamatan makanan ini adalah topik yang sedang diperbahaskan bukan sekadar Malaysia tetapi masyarakat antarabangsa yang merupakan isu yang akan berlaku sekiranya kita tidak cermat dari segi persediaan. Untuk Johor, boleh saya tahu Yang Berhormat Buloh Kasap, berapakah, berapa metrik tankah stockpile kita di Johor ini dan sekiranya berlaku kecemasan, berapa lama kita boleh bertahan? Waktu saya jadi menteri dulu, kalau Malaysia berlaku kecemasan kita hanya bertahan 21 hari sahaja. Adakah ada development dalam Johor ini berlaku kecemasan, berapa stockpile kita? Dan yang keduanya, saya tertarik tentang Taman Pengeluaran Makanan yang berpusat di Air Hitam. Ini tugas saya yang tidak selesai dahulu kerana terdapat salah guna ataupun lari daripada objektif kerana Taman Pengeluaran Makanan ini sepatutnya ditanam dengan tanaman makanan tapi ada siasatan masa saya dulu ditanam sawit. Waktu kecemasan kita tak boleh makan sawit. Itu...

Speaker

Boleh Yang Berhormat. Minum boleh...

Datuk Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Minum bolehlah tapi tahan Dato’ seminggu banjir makan minum sawit tu tak tahulah. Mungkin orang Rengit tahan, Simpang Jeram mungkin tak tahan. Jadi, kalau boleh data itu hari ini saya perlu penjelasan, terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Dato’ Speaker, bagi soalan daripada Yang Berhormat Simpang Jeram tadi, untuk soalan yang kedua itu saya ingin maklumkan bahawa di peringkat kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian kita sentiasa memantau perkembangan apa

dilakukan di tapak pertanian di Kluang. Walau bagaimanapun ianya adalah di bawah pengawasan dan pentadbiran kerajaan pusat. Dan, kami sedang menjalankan perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat supaya kerajaan pusat memberi kebenaran secara lebih luas kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor untuk memantau perkembangan apa yang berlaku di sana, Insya-Allah.

Bagi soalan yang kedua Yang Berhormat, saya ingin nyatakan bahawa untuk beberapa jenis pengeluaran makanan di Johor; ayam, telur dan juga beberapa jenis buah-buahan termasuk nanas, pisang dan sayur-sayuran termasuk bendi, timun, kita mempunyai stok lebih kurang antara seminggu ke dua minggu sahaja ketika ini. Tetapi, ianya lebih baik daripada apa yang diada, atau apa yang ada di seluruh negara. Kerana, saya sebutkan tadi bahawa sayur dan buah-buahan Johor merupakan pengeluar utama negara. Jadi, kalau kita melihat SSL memang berlaku sedikit pengurangan tetapi kerana SSL ini ditetapkan oleh kerajaan ataupun di peringkat federal yang membagi keseluruhan negeri-negeri ke seluruh negara. Tetapi untuk Johor saya fikir kita mencukupi, Insya-Allah.

Speaker

Seri Medan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat Buloh Kasap. Panjang lebar tapi saya dapat tangkap beberapa perkaralah yang untuk saya dapatkan kepastian. Yang pertamanya, saya amat tertarik dengan apa yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO tentang dalam masa sekarang ini adalah bekalan mencukupi dan amat baik. Tapi, apa yang kita lalui dalam ketika musim menghadapi musim perayaan kebanyakan stok bekalan makanan kita agak rendah dan kebanyakan diambil kesempatan oleh peniaga-peniaga untuk menaikkan harga barang. Jadi, adakah apa yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO sebentar tadi akan mencerminkan bahawa ketika kita ingin menghadapi musim-musim perayaan perkara ini akan dapat dikekalkan.

Dan yang keduanya, apa yang saya lihat dalam kita untuk mencapai program food security, hari ini mungkin melibatkan pihak-pihak yang mungkin tidak mempunyai kepakaran atau hanya bidang terjun untuk melaksanakan apa dasar-dasar kerajaan. Adakah pihak kerajaan mengambil kira agensi-agensi pertanian yang ada dalam negeri Johor contohnya PPK yang ada 29 PPK dalam negeri Johor dan juga RISDA yang boleh sama-sama main peranan untuk menyokong dan juga menyahut dasar kerajaan negeri Johor pada hari ini. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Dato’ Speaker, untuk soalan Seri Medan bekalan makanan waktu musim perayaan. Memang ia satu perkara yang sukar untuk kita ramal dan kita atasi kerana permintaan yang begitu tinggi dalam masa-masa perayaan ini. Walau bagaimanapun saya fikir usaha-usaha yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Veterinar, Perikanan untuk menyiapkan ataupun untuk menyediakan bekalan yang mencukupi sedang kita usahakan tetapi seperti juga, seperti yang saya sebutkan dalam jawapan kepada YB Simpang Jeram tadi bahawa makanan, stok makanan kita hanya mampu untuk bertahan seminggu dua minggu sahaja tidak termasuk waktu musim perayaan.

Dan saya setuju dengan soalan kedua iaitu apakah peranan yang dimainkan oleh PPK, Pertubuhan Peladang Kawasan yang jumlahnya dalam negeri Johor untuk makluman ialah 29 buah. Untuk makluman Seri Medan, saya ingin ucapkan tahniah kepada PPNJ atau PPK seluruh negeri Johor kerana untuk tahun 2021, mereka telah mencapai keuntungan sebanyak RM29 juta iaitu antara keuntungan tertinggi PPK seluruh negara. Dan untuk PPK ini, kerajaan negeri sentiasa membantu untuk meningkatkan pengurusan mereka. Untuk tahun 2022 ini sahaja kita memperuntukkan lebih kurang RM2 juta untuk membangunkan atau menaik taraf Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di lima buah PPK yang kita telah

tetapkan dan kita harap pusat pengumpulan ini nanti akan berjaya menjadi bank makanan atau pun menjadi simpanan kepada penduduk setempat, Insya-Allah. Terima kasih.

Speaker

Saya benarkan satu soalan tambahan lagi. YB Permas.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, dan tahniahlah terima kasih kepada Yang Berhormat Buloh Kasap yang telah memberi penjelasan yang baik dan menyakinkan dan saya ingin pula ke soalan kepada Pertanian Bandar. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru di bawah Datuk, Yang Berbahagia Dato’ Noorazam kerana sangat aktif dalam Pertanian Bandar dan saya pun dapat merasai di parlimen Pasir Gudang. Yang pertama soalan saya apakah bantuan ataupun inisiatif yang diberikan oleh kerajaan untuk membantu Pertanian Bandar? Dan yang kedua, boleh atau tidak Yang Berhormat Buloh Kasap di bawah portfolionya membentuk satu team untuk melawat ke luar negara seperti US ataupun London ataupun UK di mana tempat-tempat tersebut menggunakan kaedah-kaedah baru dan teknologi-teknologi yang baik seperti bio-teknologi. Jadi, di situ kalau kita lihat walau pun mempunyai kawasan yang sedikit tetapi mereka dapat menghasilkan hasil yang besar walaupun kawasan yang sedikit. Itu yang pertama, yang kedua saya lihat di Pertanian Bandar ini orang-orang bandar ini rasanya tak nak jadi orang kampung. Jadi, kalau ada teknologi-teknologi yang tinggi saya player-player di kawasan bandar ini dapat menceburi bidang-bidang Pertanian Bandar dengan lebih ramai. Itu yang saya mohon kepada Buloh Kasap untuk membuat kajian tersebut. Sekian, terima kasih.

Speaker

Kalau pergi London jangan lupa bawa YB Permas.

Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Celahan Yang Berhormat Datuk Speaker sama macam ayat saya. Insya-Allah kita akan ajak sama YB Permas bersama-sama jika ada kebenaran atau izin, dengan izin Yang Amat Berhormat Menteri Besar. (Dewan ketawa). Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melihat Permas mengambil peluang untuk soalan tambahan ini mengemukakan tiga soalan tambahan. Jadi, saya cuba untuk meringkaskan jawapan yang pertama dan yang akhir dah jawab lawatan luar negara, kita akan melihat keperluan tetapi saya setuju dengan soalan Yang Berhormat bahawa Johor perlu mengambil contoh negara-negara lain yang mungkin mempunyai kekurangan kemudahan seperti kita. Arab Saudi misalnya negara berpadang pasir tetapi telah memberikan contoh pengeluaran lembu daging terbesar dan juga sayur-sayuran, boleh mengeluarkan sayur-sayuran yang banyak. Begitu juga Singapura, negeri yang tidak mempunyai jumlah tanah yang luas, tidak mempunyai tapak pertanian tetapi boleh menyediakan stok makanan yang dalam tempoh yang agak lama. Dan, negara lain yang boleh di ambil contoh seperti Holland, seperti juga Indonesia misalnya pun ada dan sebagainya akan kita lihat dari semasa ke semasa cuma jika tidak boleh ke luar negara saya fikir itu bukan alasan untuk kita meniru atau ambil contoh negara tadi. Dan, untuk program-program Pertanian Bandar saya fikir ada banyak juga peluang-peluang ataupun inisiatif yang diberikan oleh pihak-pihak berkaitan termasuk Jabatan Pertanian sendiri mempunyai program untuk pembangunan pertanian bandar, begitu juga dengan IRDA begitu juga dengan lain-lain agensi, beberapa agensi lain. Insya-Allah saya kongsikan dengan Yang Berhormat Permas.

Tetapi saya ingin kongsikan juga kepada tuan-tuan Ahli Dewan berkenaan dengan pembiayaan yang ditawarkan oleh Agro Bank kepada golongan sasar. Agro Bank menyediakan jutaan ringgit untuk mereka yang berminat untuk menceburkan diri atau memperluaskan perniagaan pertanian mereka. Antara yang disebut-sebut satu persatu ialah sayur-sayuran RM100 juta, usahawan muda RM50 juta, pembiayaan agro makanan RM200 juta, modenisasi rantaian agro makanan RM60 juta dan banyak lagi dan saya harap

Ahli-Ahli Dewan boleh kongsikan dengan pemain-pemain utama di luar sana untuk berhubung dengan Agro Bank untuk memperolehi peruntukan ataupun pembiayaan yang ada ini insya-Allah, terima kasih.

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.

Pada Amanat YAB MB tempoh hari YAB MB ada menggariskan 6 teras Maju Johor. Selain Program Johor Bersih, apakah program utama lain yang telah berjaya kerajaan laksanakan?

Speaker

Saya persilakan Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 11.

Apakah status Enam Teras Maju Johor yang direncana oleh kerajaan negeri?

Speaker

Silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon untuk menjawab secara bersekali persoalan mengenai status Enam Teras Maju Johor yang diutarakan oleh Yang Berhormat Pasir Raja dan juga Parit Raja. Dua-dua nama Rashidah.

Speaker

Silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Maju Johor ialah sebuah agenda kerajaan negeri dalam menggariskan hala tuju pembangunan negeri ke arah memastikan Johor mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030. Ini adalah seperti mana yang diumumkan ketika ucapan amanat saya pada bulan Jun yang lalu. Saya telah menggariskan enam teras sebagai panduan bagi mencapai visi Maju Johor. Teras-teras ini bukan sahaja sarat dengan perancangan tetapi turut disertai dengan pelbagai inisiatif yang telah pun dimulakan oleh jentera pentadbiran negeri. Enam Teras tersebut adalah

1. Tadbir urus kerajaan. 2. Pembangunan Ekonomi. 3. Jaringan Keselamatan Sosial ataupun Social Safety Net. 4. Kemudahan dan Keperluan Asas. 5. Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar. 6. Dan yang paling penting, Orang-Orang Muda Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, oleh kerana ini adalah bulan ke enam bagi pentadbiran kerajaan negeri yang baharu ini saya mohon untuk menjelaskan segala inisiatif yang telah dilaksanakan dalam tempoh masa enam bulan ini. Yang Berhormat Speaker, you may start the clock.

Speaker

Silakan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bagi teras pertama iaitu tadbir urus kerajaan antara inisiatif yang telah dilaksanakan sehingga kini adalah peningkatan kompentisi penjawat awam melalui kerja sama antara Akademik JCS dengan UTM, GLC-GLC dan Price Waterhouse Cooper. Pelaksanaan kursus pemantapan jati diri dan kecergasan fizikal oleh Akademik JCS dengan Johor Military Force yang melibatkan pegawai-pegawai JCS. 7 program dan kursus dikelolakan oleh Akademik JCS bersama Civil Service College Singapura dan Singapore

Temasik Foundation. Bagi mengurangkan karenah birokerasi Johor Fast Lane telah diperluaskan kepada semua PBT di negeri Johor. Penyeragaman tempoh proses permohonan 30 lesen perniagaan tidak berisiko di PBT untuk diluluskan dalam masa hanya satu hari bekerja. Pengurangan dokumen perumahan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) daripada 17 hingga kepada 5 dokumen sahaja. Pengeluaran surat tawaran Rumah Mampu Biaya Johor dari tarikh pengundian terbuka di singkatkan daripada 60 hari ke 7 hari sahaja. Pelaksanaan Green Lane Initiative bagi proses kelulusan pindah milik Rumah Mampu Biaya Johor kepada ahli keluarga disingkatkan daripada 14 hari kepada 1 hari. Perluasan penggunaan Johor Pay sebagai platform pembayaran atas talian bagi Permit 4C dan Kupon Export bagi Pentadbiran Tanah Johor. Sehingga hari ini pengguna Johor Pay telah meningkat kepada 100,051 pengguna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya pencapaian dan usaha yang telah dilaksanakan di bawah teras kedua iaitu Pembangunan Ekonomi. Pertamanya pencapaian rekod pelaburan tertinggi berjumlah RM60.9 bilion yang menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia. Keduanya, misi pelaburan Yang Berhormat EXCO Pelaburan ke Netherlands, Singapura dan UK yang berpotensi menarik lagi pelaburan sebanyak RM17.0 bilion. Penyertaan deligasi Kerajaan Negeri Johor sebagai ahli baharu dalam mesyuarat segi tiga pertubuhan Indonesia-Malaysia-Thailand, IMTGT. Penganjuran Festival Majestic Johor yang baharu sahaja berlangsung di Puteri Harbour telah berjaya menarik sejumlah 650,000 pengunjung. Penyertaan Tourism Johor dalam program Welcome to Johor Travel Expo di Batam telah menghasilkan jualan sebanyak RM4.6 juta dalam industri pelancongan kesihatan. Di pameran MAHA 2022, Pavillion Johor telah mencatatkan jualan usahawan sebanyak RM147,000.00. Pembentukan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor bagi menyediakan 5,000 tenaga pekerja untuk memenuhi keperluan semasa pelaburan dan industri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras ketiga ialah Keselamatan Sosial. Objektif utama teras ini adalah mengiringi dan memelihara golongan rentan. Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah pertamanya caruman permulaan akaun KWSP kepada 12,864 peserta Kasih Suri Keluarga Malaysia Negeri Johor. Keduanya bantuan berbentuk peralatan dan mesin bernilai RM481,000.00 di bawah program pembasmian miskin tegar. Penyediaan 129 unit rumah bernilai RM1.9 juta menerusi Program Bantuan Rumah. Seramai 1,613 orang telah menerima peralatan khas kesihatan menerusi bantuan keluarga dan masyarakat i-BERKAT oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Seramai 1,215 anak-anak yatim dan yatim piatu telah menerima bantuan tunai bulanan, bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insuran melalui Program Anak Johor Prihatin, lawatan penanda aras Yang Berhormat EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Ministry of Social and Family Development di Singapore. Peruntukan RM850,000.00 kepada Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy Johor. Penyediaan 2 unit bas, klinik kesihatan bergerak oleh Yayasan Mohd Noh yang dikendali oleh Fakulti Perubatan dan Pergigian UiTM.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras keempat ialah Kemudahan Dan Keperluan Asas, menerusinya kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti peruntukan sebanyak RM39 juta bagi 89 pakej projek bina baru dan naik taraf jalan kampung di seluruh negeri. RM670,000.00 bagi menaik taraf infrastruktur di Hospital Sultan Ismail (HSI), penggantian paip air terawat sebanyak 190 kilometer yang meliputi 94 kawasan. 23 projek menukar kabel elektrik meliputi 14 kawasan yang kerap berlaku gangguan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad. Dasar Agro Negeri Johor 2022 hingga 2030 telah dimuktamadkan bagi memperkasa agenda seperti makanan. Penubuhan task force tanah pertanian bagi mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah pertanian untuk tanaman pemakanan. Pelepasan lebih 500,000 ekor ikan pelbagai jenis ke perairan umum di sungai-sungai dalam negeri. Perizaban estet kerang-kerangan di daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras kelima pula ialah Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar. Teras memberi tumpuan kepada program dan inisiatif seperti berikut: Pertamanya, pelaksanaan Program Johor Bersih di semua PBT di seluruh negeri Johor bermula 2 Julai hinggalah pertengahan bulan Oktober tahun ini. Taman Negara Endau-Rompin telah diiktiraf sebagai Asian Heritage Park ada 7 Julai 2022. Penamaan, penanaman 108,000 batang pokok telah dilaksanakan di seluruh negeri Johor bagi menyokong pembekalan kawasan liputan hijau. Pelancaran Program Johor Selamat, pada 13 Ogos melalui kerjasama strategik PBT, PDRM, ATM dan lain-lain agensi. Penambahan CCTV berteknologi AI di kawasan hot spot jenayah dan tumpuan pelancong di kawasan-kawasan PBT. Penyediaan pondok polis bergerak, skuter peronda dan van yang dilengkapi dengan CCTV oleh Polis Diraja Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras keenam. Teras Orang Muda Johor, satu penanda aras yang cukup tinggi telah diletakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor apabila pasukan JDT sekali lagi berjaya menjuarai Piala FA 2022 baru-baru ini. Tahniah dan syabas kita semua ucapkan atas kejayaan yang amat membanggakan kita semua sebagai Bangsa Johor. Kejayaan yang dikecapi JDT ini sudah pasti akan membakar semangat anak-anak muda Johor untuk terus bersaing dan mengecapi kejayaan, insya-Allah. Ini juga disaksikan, dapat kita saksikan dengan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet-atlet Johor di Temasya SUKMA yang kini sedang berjuang bermatian-matian di Kuala Lumpur demi mengharumkan nama negeri yang kita semua cintai. Untuk makluman Dewan yang mulia, Johor sekarang ini mendahului carta kutipan pingat SUKMA 2022 apabila sudah mengumpul 61 pingat emas (Dewan bertepuk), 36 perak dan 33 gangsa. Sama-samalah kita semua mendoakan kejayaan atlet-atlet dan kontinjen kita agar Johor terus berjuang mencipta dan melakar sejarah di dalam temasya yang berprestij ini.

Selain itu, anak muda Johor terus memanfaatkan program kerajaan negeri dalam pembangunan belia dan sukan. Dan ini dibuktikan dengan menjuarai beberapa pertandingan termasuk Hub Malaysia Rugby Championship Bawah 19 tahun, Netball Super League yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, acara regu Kejohanan Antarabangsa Sepak Takraw Piala TYT Melaka, pasukan JDT III menjulang Piala Presiden, Ragbi MSSM Bawah 12, Ragbi MSSM Bawah 18 dan juga Ragbi National 7’s Bawah 21.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif-inisiatif yang melibatkan orang muda yang lain adalah seperti berikut; penyertaan 7,000 peserta tempatan dan luar negara dalam acara sukan bertaraf antarabangsa seperti L’Etape dan juga Ironman yang diadakan di Desaru tahun ini. Kejayaan SMK Tinggi Batu Pahat mewakili Malaysia ke World Robotic Olympiad di Jerman pada November ini, pemberian dana sebanyak RM50,000.00 kepada 25 persatuan mahasiswa anak Johor di IPTA dan juga IPTS, pemberian One-Off Skim Bantuan Pendaftaran IPT kepada 343 pelajar, pinjaman pelajaran kepada 237 mahasiswa melalui Yayasan Pelajaran Johor, pemberian Dana Didik Johor RM100.00 kepada 604 orang penerima, seramai 40 belia menyertai program internship di jabatan, agensi serta GLC negeri melalui Dewan Muda Johor dan juga Johor Apprentice. Hampir 200 anak muda Johor juga telah dilantik sebagai duta-duta perpaduan Johor, penganjuran Jelajah TVET Tahun 2022, penganjuran 3 Siri Gerak Kerja Johor 2022 di Zon Selatan telah berjaya menawarkan lebih kurang 6,000 jawatan, pelaksanaan 43 kursus melalui Program Latihan Kemahiran Johor kepada kumpulan B40 yang menghasilkan penawaran pekerjaan kepada 1,304 orang peserta yang melibatkan 90 majikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi memohon maaf kerana mengambil masa lebih daripada 6 minit untuk menerangkan pencapaian 6 bulan pentadbiran kerajaan ini. Diharap penjelasan yang diberi ini mencerminkan bahawa kerajaan Barisan Nasional ini bukan sekadar polimik ataupun retorik semata-mata, kita benar-benar serius untuk memajukan negeri yang kita cintai ini (Dewan bertepuk). Sekali lagi saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan-rakan EXCO, ADUN-ADUN,

agensi-agensi, JCS-JCS dan juga GLC-GLC yang terlibat untuk menjayakan gagasan Maju Johor ini. Luhur budaya tidak terperi, di selatan negara aman sentosa, enam teras pasak negeri, memaju Johor membangunkan bangsa. Dari Mersing ke pekan Segamat, singgah sebentar mencari kudapan, Maju Johor jadikan matlamat, melunas impian mencapai pembangunan. Sekian, terima kasih (Dewan bertepuk).

Speaker

Ada soalan tambahan tak? Saya benarkan satu. Sila-sila.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas penjelasan yang cukup padat berhubung inisiatif dan usaha berterusan yang dilakukan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam menjayakan agenda Maju Johor.

Ke arah mencapai negeri maju ini, antara rintihan utama rakyat khususnya di kalangan kumpulan B40 dan M40 adalah untuk membeli rumah kediaman pada harga yang mampu dimiliki. Soalan tambahan saya, apakah pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri pada masa ini untuk memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik. Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker ini mengenai perumahan ini walaupun ini bawah Dato’ Jafni, saya cuba menjawab, kalau tak cukup nanti insya-Allah, Dato’ Jafni akan membantu menjawabnya secara bertulis ya. Buat pengetahuan Yang Berhormat, untuk kawasan Tenggara saya difahamkan 400 unit rumah mampu milik sedang dibina dan insya-Allah akan siap pada tahun depan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi agenda perumahan ini secara dasarnya ia adalah memang satu agenda yang cukup penting untuk kerajaan negeri Johor. Kita tahu ramai orang Johor yang memerlukan rumah terutamanya seperti apa Yang Berhormat sebut tadi golongan B40 dan juga M40. Di dalam Sidang Dewan yang kita telah dengar pada, Sidang Dewan yang lepas, Dato’ Jafni ada sebut bahawa terdapat lebih 130,000 rumah kos rendah dan mampu milik yang belum lagi dibina sejak 25 tahun yang lalu. Perkara ini adalah satu perkara yang serius yang sedang dikaji dengan amat teliti dan insya-Allah dasar baharu kerajaan negeri akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tapi apa yang nak saya laporkan kepada rakan-rakan Yang Berhormat yang berada di dalam Dewan yang mulia ini, tindakan awal yang dibuat oleh kerajaan negeri adalah meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) merangka pembentukan Jawatankuasa Perancangan, Reka Bentuk dan Semakan atau dengan izin, Planning, Design and Review Committee (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau dan memudahcara proses kelulusan dan juga cadangan-cadangan pembangunan perumahan mampu milik untuk negeri Johor. Saya juga nak tekankan bahawa seperti yang saya sebut tadi negeri Johor ini adalah investor dan juga business friendly. Jadi, insya-Allah dasar kerajaan untuk perumahan ini akan berkisar kepada arah itu tetapi tidak sekali-sekali menidakkan keperluan orang ramai terutamanya golongan B40 dan M40. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Soalan-Soalan Bertulis.Questions

Jurutulis

Jawapan kepada Soalan-Soalan Bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas Meja Mesyuarat.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.08 pagi.

Persidangan disambung pada jam 11.39 pagi.

Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2022.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon membawa Rundingan supaya Dewan ini serta-merta berpindah menjadi Jawatankuasa Bagi Keseluruhan Dewan Negeri untuk menimbangkan Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2022 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bil. 25 Tahun 2022 dan memperakukan sama ada peranggaran itu patut diluluskan oleh Dewan ini dengan dipinda atau tiada pinda.

Peruntukan yang diperlukan untuk Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2022 adalah berjumlah RM30,489,000.00 di bawah suatu Jawatankuasa seperti berikut, Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, RM30,489,000.00 Penjelasan lanjut bagi peruntukan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM30,489,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan P.74 Jabatan Kerja Raya Johor itu dipersetujukan.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Pengerusi, di bawah Maksud Pembangunan 74, Jabatan Kerja Raya Johor, peruntukan tambahan sebanyak RM30,489,000.00 diperlukan bagi menampung kekurangan bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan-bangunan kerajaan negeri.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Dato’ Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Datuk Pengerusi....

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Pengerusi...

Dato’ Seri Haji Salahuddin bin AyubAMANAH · PHSimpang Jeram

Mohon penjelasan, mohon penjelasan. Tidak boleh dibahas ke?

Pengerusi

Ha, tidak. Sila Yang Berhormat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Pengerusi, oleh sebab maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bil. 25 Tahun 2022 itu telah pun diselesaikan, ditimbangkan, maka saya membawa Rundingan supaya ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu dimaklumkan serta-merta kepada Dewan Negeri.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Dewan Negeri bersidang semula.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Jawatankuasa Dewan ini telah pun menimbang dan meluluskan tanpa pindaan maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bil. 25 Tahun 2022. Dari itu saya membawa Rundingan supaya Dewan ini bersetuju bahawa peruntukan wang berjumlah RM30,489,000.00 yang dicadangkan bagi Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2022 itu diluluskan oleh Dewan ini. Dan dengan ini mengambil ketetapan bahawa suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM30,489,000.00 hendaklah dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan Dalam Tahun Kewangan 2022 bagi menyempurnakan maksud yang dinyatakan dalam kertas mesyuarat yang tersebut.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) Tahun 2022.Bill

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Pembekalan Tambahan (No.2) Tahun 2022 di bacakan kali yang pertama.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini di baca kali yang pertama.

Jurutulis

Satu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2022 dan bagi memperuntukan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga dan saya membawa Rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju.

Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa supaya Rang Undang-Undang ini di bacakan kali yang kedua sekarang. Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan bagi perbelanjaan bekalan tahun 2022. Tambahan peruntukan yang

diperlukan adalah sebanyak RM1,335,000.00 sebagaimana yang dimaksudkan di dalam enakmen perbekalan tambahan di bawah satu jawatankuasa seperti berikut:

Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor RM1,335,000.00. Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi diperingkat jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini di bacakan kali yang kedua sekarang. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju.

Rang Undang-Undang ini di baca kali yang kedua.

Jurutulis

Satu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada kumpulan wang disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2022 dan bagi memperuntukan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Speaker

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

JADUAL.

Pengerusi

Perkara-perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu sejumlah wang sebanyak RM1,259,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Kem Sultan Ibrahim itu dan RM76,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.58, Pejabat Tanah Kota Tinggi itu. Jadual sebahagian daripada Jadual Rang Undang-Undang ini.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bagi maksud Bekalan B.03, Kem Sultan Ibrahim peruntukan tambahan sebanyak RM1,259,000.00 diperlukan iaitu RM78,000.00 bagi menampung kekurangan bayaran bekalan bahan mentah dan bahan-bahan untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan RM390,000.00. Bagi penyelenggaraan dan pembaikan yang dibeli, RM672,000.00 bagi Perkhidmatan Ikhtias dan perkhidmatan lain yang dibeli dan hospitaliti, dan RM119,000.00 bagi menampung kekurangan Harta-Harta Modal yang lain.

Bagi maksud Bekalan B.58 Pejabat Tanah Kota Tinggi, peruntukan tambahan sebanyak RM76,000.00 diperlukan iaitu RM23,000.00 bagi menampung kekurangan bayaran sewaan dan RM53,000.00 bagi menampung kekurangan Perkhidmatan Ikhtisas dan perkhidmatan lain dibeli dan hospitaliti.

Pengerusi

Perkara itu dikemukan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 2.

Pengerusi

Perkara dihadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 1.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, tidak bersetuju. Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Dewan Negeri bersidang semula.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa, satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Maka saya membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang ini di bacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No.2) tahun 2022 di bacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini adalah diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut: Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (No.2) Tahun 2022.

RUNDINGAN UNTUK MENCADANGKAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PILIHAN KHAS BAGI MENJALANKAN KAJIAN DAN CADANGAN TERHADAP ENAKMEN ANTI-LOMPAT PARTI DI PERINGKAT DEWAN NEGERI JOHOR.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rundingan daripada Yang Berhormat Skudai telah diterima oleh Jurutulis Dewan Negeri Johor di bawa Peraturan Tetap Bilangan 30(2) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor.

Saya suka mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat hanya diberi masa selama 5 minit sahaja. Silakan, Skudai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan mengenai Rundingan untuk Mencadangkan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menjalankan Kajian Dan Cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti di peringkat Dewan Negeri Johor.

Speaker

Yang Berhormat, ada sokongan terhadap rundingan yang dibawa?

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Oleh kerana rundingan itu telah disokong, saya membenarkan rundingan itu dibahaskan oleh dua orang daripada ADUN kerajaan dan dua orang daripada ADUN Pembangkang. Masa yang diberikan juga ialah 5 minit. Saya jemput Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Salam sejahtera kepada Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Udangan Negeri yang saya hormati sekalian. Hari ini merupakan permulaan baru bagi DUN Negeri Johor untuk memastikan RUU Anti-Lompat Parti diserap sekali dalam perlembagaan negeri Johor. Undang-Undang anti-lompat parti telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti 2/3 dan ini telah menjadi satu kekayaan ke arah reformasi politik dan menamatkan krisis politik yang berterusan di

Malaysia sebagaimana yang di cerita-ceritakan oleh banyak parti politik dan orang ramai. Tuan Speaker yang dihormati, Yang Berhormat Marina Ibrahim, ADUN Skudai telah mencadangkan sebuah rundingan dan ia telah disokong oleh saya di bawah Peraturan Tetap 30(2) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjalankan kajian dan cadangan terhadap Enakmen Anti-Lompat Parti di peringkat Dewan Negeri Johor dalam Persidangan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-15 pada hari ini.

Sidang yang dihormati, saya menyokong bahawa rundingan ini perlu diberi perhatian khusus kerana negeri Johor harus menyatakan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti Persekutuan demi keseragaman dan kestabilan politik negeri. Bagi saya negeri Johor amat perlu mempunyai Undang-Undang Anit-Lompat Parti yang diselaraskan dengan kerajaan persekutuan agar tidak terjadi peristiwa runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan Johor pada Februari 2020 yang lalu. Ahli-Ahli Dewan yang dihormati sekalian, bukan itu sahaja dana awam yang besar juga perlu dibelanjakan untuk mengadakan pilihan raya. Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan menamatkan perkara ini dan menjimatkan dana awam. Kita sebagai Wakil Rakyat dan ahli politik mesti menunjukan kemahuan kita untuk membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat. Menurut laporan kebanyakan pelabur asing juga telah mengalih perhatian mereka ke negara-negara lain seperti Indonesia dan Vietnam untuk meluaskan perniagaan kerana mereka bimbang tentang ketidak tentuan politik di Malaysia. Dengan pindaan perlembagaan negeri Johor mengenai RUU Anti-Lompat Parti langkah ini juga sekali gus akan membantu merangsang pelaburan di negeri dan negara kita.

Untuk makluman semua, saya juga ingin memetik sebuah cadangan daripada ucapan ADUN Mengkibol pada penggal yang lepas yang berkaitan dengan RUU Anti-Lompat Parti iaitu mechanism recall election atau pemilihan semula seperti diamalkan di beberapa negara Komanwel yang lain dengan izin Tuan Speaker, recall election merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada Wakil Rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula dikawasan tersebut. Untuk membolehkan rakyat memilih Wakil Rakyat yang baharu. Undang-Undang mengenai recall election atau pun pemilihan semula akan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR untuk melakukan referendum melalui petisyen daripada pengundi sama ada seseorang Wakil Rakyat perlu kosongkan kerusi dan SPR akan bertanggungjawab untuk melakukan pilihan raya semula atau kekalkan mereka di kerusi tersebut. Kedua-dua Undang-Undang ini yang saling melengkapi harus di luluskan serentak dalam satu enakmen supaya rakyat akan kembali percaya terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negeri kita.

Speaker

Yang Berhormat, 1 minit lagi.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Dengan pengubalan enakmen mengenai RUU Anti-Lompat Parti, rakan akan turut berasa yakin terhadap sistem demokrasi negara kita. Saya juga percaya semua Wakil Rakyat DUN Johor tanpa mengira parti politik akan berbesar hati menyokong Rang Undang-Undang yang akan digubal dalam perlembagaan negeri kita bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan stabil. Seharusnya tidak ada tempat untuk ahli politik oportunis dalam rangka kerja politik kita. Ia adalah penting bagi ahli-ahli politik untuk menghormati dan mengiktiraf mandat rakyat bukan melompat dan mendakwa ia adalah untuk kepetingan negara kita tidak boleh melalui apa yang berlaku selepas PRU yang lalu. Kata politik ini mencemarkan imej negara. Negara kita tidak memerlukan ahli politik yang mementingkan diri sendiri yang mendahulukan kepentingan mereka sebelum kepentingan rakyat. Dengan ini saya berharap kerajaan negeri akan meluluskan pindaan perlembagaan negeri Johor mengenai RUU Anti-Lompat Parti. Kita tidak perlu lagi kata politik di negeri Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput ADUN Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Tak ada soalan teka teki tambahan masa?

Speaker

Sila Yang Berhormat.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Syukur kepada Allah kerana kita diberi peluang untuk bersemuka kembali pada pagi yang mulia ini. Saya bangun untuk sama berbahas berkaitan dengan Rundingan yang dibawa oleh YB Skudai berkaitan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menjalankan Kajian dan Cadangan Terhadap Enakmen Anti Lompat Parti di Peringkat Dewan Negeri Johor. Saya terbaca dalam susunan perkara-perkara mesyuarat hari ini, ramai di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat begitu berminat bertanyakan soalan-soalan terutama soalan lisan berkaitan dengan perkara ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu lompat parti ini bukanlah perkara baharu, ia menjadi onar dan punca kepada kerosakan sistem pilihan raya di negeri ini malah ia dilihat mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat yang memberikan undi kepada mereka. Bukan sahaja pihak pembangkang sebagai kerajaan yang juga pernah menjadi pembangkang kita menyaksikan episod demi episod rakan-rakan yang dahulunya pernah bertanding mewakili parti dan bendera kita, seorang demi seorang lari malam setelah tidak lagi menjadi kerajaan (Dewan bertepuk). Apa yang memeritkan bila mana mereka berbahas pada masa tersebut mewakili parti yang mereka lompat, parti yang dahulunya meletakkan mereka bertanding dan menang, dihina, dicaci malah ada yang mengambil kesempatan menggunakan peluang seperti sang katak yang tanpa segan silu asyik melompat, kejap sana kejap ke sini demi keuntungan sendiri. Maka apabila akta ini diwartakan kelak bukan sekarang ya, kelak saya akan huraikan nanti kenapa tidak sekarang untuk kita bentang dan dibawa ke Dewan yang mulia ini. Jika pewartaan ini berlaku maka kita dah boleh kekang malah tindakan juga boleh dikenakan kepada mereka yang sikap dan kelakunya seperti sang katak tadi. Namun apa yang jelas, ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk rakyat yang ada di luar sana masih belum faham tentang tatacara pelaksanaan undang-undang ini di peringkat negeri malahan mungkin terkhilaf, mungkin terasa dipergunakan dan hanya menurut perintah mempersembahkan Rundingan ini tanpa usul periksa sejauh mana ianya menepati kehendak (Dewan bertepuk) dengan izin, rule of law itu sendiri.

Izinkan saya berkongsi maklumat bagaimana rang undang-undang ini sebenarnya telah pun lengkap tanpa perlu kita buang masa mencadangkan untuk dikaji RUU ini. Kita semua sedia maklum bahawa Rang Undang-Undang Perlembagaan Pindaan Nombor 3 (2022) telah dibentang, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022. Kemudian diluluskan di Dewan Negara pada 16 Ogos 2022 dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong pada 31 Ogos 2022, baru tak sampai sebulan, akhirnya tanggal 6 September RUU tersebut telah diwartakan dan dikenali sebagai Akta Pindaan Perlembagaan Nombor 3 ataupun Akta A1663. Dalam Seksyen 6 Akta ini ada diperuntukkan pindaan kepada Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan peruntukan yang hendaklah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh sesuatu negeri. Pindaan kepada Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui akta ini juga adalah berkaitan Peruntukan Larangan Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri. Baik. Bilakah Seksyen 6 ini akan mula berkuatkuasa? Perkara yang menyentuh permulaan kuatkuasa Seksyen 6 ini dinyatakan di bawah subseksyen 1(3) Akta Perlembagaan Pindaan Nombor 3 (2022) iaitu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang DiPertuan Agong akan mendapatkan persetujuan dahulu menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan seterusnya tarikh permulaan kuatkuasa Seksyen ini akan disiarkan dalam Warta (Dewan bertepuk). Apabila selepas Seksyen 6 ini dikuatkuasakan di negeri, maka kerajaan negeri bolehlah meminda Undang-Undang Tubuh ataupun Perlembagaan Negeri selaras dengan Seksyen 6

Akta A1663 berhubung dengan pindaan Jadual Kelapan iaitu Peruntukan Larangan Lompat Parti.

Peruntukan berkaitan pindaan Jadual Kelapan tersebut kemudiannya hendaklah dibawa ke Dewan Undangan Negeri sebagai RUU Undang Tubuh Pindaan dan ianya hendaklah diluluskan di Dewan Undangan Negeri dengan undian sebagai sebanyak 2/3 daripada bilangan Ahli Dewan dan bacaan kali kedua dan juga kali ketiga. Kemudian, setelah ia mendapat perkenan daripada Raja, maka Enakmen Undang-Undang Tubuh Pindaan ini boleh disiarkan dalam Warta. Penetapan tarikh permulaan kuatkuasa Enakmen Undang-Undang Tubuh tersebut oleh Raja atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga disiarkan di dalam warta. Perkara-perkara yang dinyatakan ini adalah proses yang perlu dilalui dan dipatuhi kerana ianya adalah kehendak undang-undang yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan serta Akta Perlembagaan Pindaan Nombor 3 (2022). Maksudnya tiada short cut dengan izin, atau jalan pintas kepada proses ini untuk kita laksanakan. Namun, apa yang saya tekankan di sini ialah kehendak Subseksyen 1(3) Akta Perlembagaan ini yang masih belum pun berlaku. Maka perkara-perkara bersangkutan dengan peruntukan larangan lompat parti ini tidaklah wajar kita mendahului Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong (Dewan bertepuk) dan juga Raja-Raja.

Jika kita sama-sama telah mengikuti bagaimana perjalanan akta ini dihasilkan, kita akan sedar ianya bukan dibuat dengan cara sembrono atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Ia melalui proses yang cukup panjang dan melibatkan beberapa pertemuan dan mesyuarat-mesyuarat penting di kalangan mereka yang terlibat. Siapa yang terlibat ini? Mereka adalah anggota seramai 11 orang daripada Ahli-Ahli Parlimen bukan satu tapi 11 orang daripada pelbagai parti termasuk juga daripada DAP, daripada PKR, daripada Amanah dan juga daripada parti-parti yang lain. Saya nak baca satu-satu ramai, tapi tak payah, saya skip sebab 5 minit...

Speaker

Yang Berhormat satu minit lagi.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Baik. Sikit lagi Datuk Speaker. Dan di dalam pertemuan tersebut bukan sahaja parti-parti politik termasuklah NGO-NGO seperti Bersih turut sama bersetuju dengan kaedah pelaksanaan undang-undang ini. Jadi Datuk Speaker, saya terus kepada penutup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika Yang Berhormat YB-YB pembangkang benar-benar memahami kehendak Akta Perlembagaan ini serta mengambil maklum akan pelbagai pihak yang telah menyumbang idea untuk menjayakan Akta Perlembagaan ini, maka Rundingan ini tidak akan kita teruskan. Intipati larangan lompat parti yang jelas tidak memerlukan sebenarnya pewujudan Jawatankuasa untuk mengkaji Seksyen 6 Akta Perlembagaan ini. Sebagai pembuat dasar, maka eloklah jika kita benar-benar memahami perjalanan RUU ini, jangan pula lepas ni kat luar Dewan kata ADUN BN tolak RUU, tidak. Kita tak tolak RUU yang kita tolak ialah Rundingan untuk tubuh Jawatankuasa kerana kita tahu (Dewan bertepuk) ia akan menjadi isu seolah-olah ketandusan isu menjelang Pilihan Raya Umum yang akan datang. Jadi saya ingat itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Dijemput Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat...

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya nak tanya Rundingan ini dibawa oleh Yang Berhormat Skudai tapi dia tak bahas untuk cakap kenapa dia bawa Rundingan ini, ini lebih bersifat

politik daripada kepentingan rakyat. Dia bawa satu Rundingan dia tak bahas. Ini tidak menunjukkan...

Speaker

Tak apa Yang Berhormat sebab pihak-pihak sana memilih dua orang pembahas mereka. Yang Berhormat nak bercakap juga?

Terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Terima kasih atas ruang yang telah diberikan untuk saya mengangkat Rundingan yang telah dibawa oleh Yang Berhormat Skudai tentang menubuhkan Jawatankuasa Bagi Meneliti Kajian dan Cadangan Enakmen Anti Lompat Parti di Peringkat Dewan Negeri Johor.

Saya kira tak perlu saya nak bercerita panjang lebar tentang kenapa pentingnya Enakmen Anti Lompat Parti ini kerana pertamanya telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga telah dibahaskan dengan cukup baik oleh sahabat saya Yang Berhormat Bukit Batu. Tetapi saya nak bercerita sikit kenapa pentingnya kita menubuhkan Jawatankuasa untuk kita teliti Enakmen Anti Lompat Parti ini bagi memastikan bahawa segala dapatan di dalam Enakmen Anti Lompat Parti itiu selari dengan semangat negeri dan juga Bangsa Johor. Tak perlu kita tunggu agar segala-galanya proses itu selesai baru kita nak tubuhkan Jawatankuasa, sedangkan banyak negeri yang telah mulakan di peringkat negeri masing-masing membincangkan tentang penyelarian untuk selaraskan Enakmen Anti Lompat Parti ini di peringkat Dewan Negeri juga. Kita, bila kita nak menubuhkan Jawatankuasa ini niatnya bukan untuk mendahului proses ataupun mendahului Majlis Raja-Raja tetapi niatnya adalah agar kita dapat mempermudahkan urusan kelak untuk kita pastikan Enakmen Anti Lompat Parti itu bila kita bawa di Dewan Negeri Johor ianya selari dengan semangat negeri dan Bangsa Johor. Sebab itu untuk hari ini saya tidak akan berbincang lama tentang apa kesan sekiranya Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor melompat parti tetapi apa yang saya nak fokuskan pada hari ini dengan ruang berbahas yang agak terhad ini apakah mesej yang perlu kita sampaikan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Johor kepada Bangsa Johor di luar sana kerana mesej itulah pentingnya untuk kita tubuhkan Jawatankuasa ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini adalah terma pertama saya, saya punya first term, dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker sebagai Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Johor dan semenjak saya mengangkat mandat sebagai ADUN Puteri Wangsa, saya sering terfikir apa sebenarnya tanggungjawab paling utama saya selaku Wakil Rakyat Puteri Wangsa di dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Adakah cukup untuk sekadar kita, bekerja sekadar untuk mempertahankan kerusi untuk pihlihan raya akan datang, ataupun kita hanya sekadar bekerja untuk memuaskan hati penyokong sahaja. Saya fikir ini semua bukan tugas utama Ahli Dewan Undangan Negeri Johor tetapi tugas kita selaku pemimpin-pemimpin yang diberikan amanah dan mandat daripada rakyat negeri Johor adalah untuk kita pastikan bukan sekadar menjaga kawasan masing-masing sahaja tetapi untuk pastikan kita dapat angkat dan julang nama baik negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Negeri Johor harus menjadi negeri contoh sebagai sebuah negeri yang membawa nilai peradaban yang matang. Negeri Johor juga harus menjadi sebuah contoh di mana kita menjulang kepentingan rakyat melebihi kepentingan ahli-ahli politik atau kepentingan parti-parti politik. Negeri Johor juga sudah sekian lama dan perlu terus melahirkan ramai pemimpin-pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan pemimpin-pemimpin yang diangkat sebagai pemimpin yang mengutamakan rakyat melebihi daripada segala-galanya. Ini adalah tugas dan peranan yang besar untuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang perlu kita bawa bersama. Kerajaan Johor yang lepas juga di bawah pimpinan Yang Berhormat Benut sering kali mengucapkan bahawa mereka memandang serius tentang Akta Anti Lompat Parti ini dan tentang reformasi politik. Jadi saya kira kita tidak perlu kita tunggu lama, kita tubuhkan Jawatankuasa ini untuk memberikan keyakinan kepada rakyat negeri

Johor bahawa semua ADUN-ADUN Negeri Johor tak kira di bahagian kerajaan atau pembangkang serius dalam mengangkat suara dan memegang amanah daripada rakyat negeri Johor. Maka buatlah keputusan yang baik untuk mempertahankan imej dan nama baik negeri bukan sekadar imej dan nama baik kepentingan parti-parti politik semata-mata. Jadi Enakmen ini ataupun perbincangan untuk meluluskan Enakmen ini tidak boleh ditunggu dan dibantah dan dilengah-lengahkan semata-mata.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah masanya untuk kita Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor memberikan contoh yang baik kepada rakyat Johor di luar sana yang sedang menunggu keputusan daripada Dewan Undangan Negeri Johor. Waktu kita semua sedang berbahas ini rakyat Johor sedang menunggu di luar Dewan sana apa keputusan kita berkenaan dengan Enakmen Anti Lompat Parti. Jadi menubuhkan Jawatankuasa ini memberi kepercayaan semula kepada rakyat negeri Johor kepada Bangsa Johor tentang betapa seriusnya Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dalam mengangkat suara dan mandat rakyat. Kalau tanya saya rakyat negeri Johor sebenarnya sudah muak dan benci dengan mereka yang melompat parti hanya kerana wang dan kuasa semata-mata. Saya kira perkara itu kita semua setuju dalam Dewan pada kali ini. Jadi saya bimbang sekiranya tidak ada usaha yang cepat daripada Dewan Undangan Negeri Johor untuk membuktikan bahawa kita memang nak melaksanakan Enakmen Anti Lompat Parti ini dalam Dewan Undangan Negeri Johor, rakyat Johor bukan sahaja akan memandang serong kepada kita semua, tetapi rakyat Johor akan makin lama hilang kepercayaan dan berputus asa dengan masa hadapan politik di negeri Johor. Jadi ini masanya untuk kita buktikan kepada mereka, kita tidak boleh tunggu, kita tidak boleh lengah-lengahkan semua ADUN Negeri Johor harus sepakat untuk tolak politik lompat melompat dan beri sokongan yang penuh untuk Enakmen Anti Lompat Parti. Sokongan ini kita mulakan dengan penubuhan Jawatankuasa ini. Saya..

Speaker

Yang Berhormat satu minit lagi.

Boleh Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk rakyat negeri Johor dan seluruh isinya. Saya pasti ADUN-ADUN Negeri Johor yang lain juga mahukan perkara yang sama. Kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Yang Berhormat Tenggaroh. Yang Berhormat Tenggaroh, kalau ada apa-apa mengenai cadangan YB Skudai sila PM tepi. Silakan Mahkota.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Speaker sempat bela Skudai ya, untung juga jadi YB orang muda.

Pertama sekali Mahkota menolak sekeras-kerasnya cadangan pengujudan Jawatankuasa yang dibawa oleh YB Skudai. Usul yang ditimbulkan wajarlah waspada bertindak yang seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan. Mahkota suka nak mengingatkan agar bersikap lebih berakal, tajamkan minda kerana terlajak laku buruk padahnya apatah lagi jika bertindak menongkat langit, berjalan kepala di bawah sedangkan kaki ke atas. Perkara yang dah elok, cantik dan molek tak sewajarnya ditubuhkan Jawatankuasa. Adakah Skudai masih keliru ataupun mungkin tidak yakin dengan parti YB sendiri. Bila dibangkitkan maknanya kepimpinan parti YB tak sepakat ketika membuat keputusan, nak buat Jawatankuasa pulak. Dalam erti kata lain YB macam nak mempersoalkan ketelusan yang dibuat di Parlimen atau nak claim sitting allowance atau saja nak cari kerja (Dewan bertepuk) kerana tak mampu berhadapan dengan permasalahan rakyat (Dewan bertepuk) atau barangkali YB-YB di sana ketandusan idea untuk dikemukakan atau sengaja cuba menjadikan hal-hal remeh sebagai isu lantaran sokongan rakyat semakin luntur apatah lagi kerana kecemburuan terhadap kerajaan negeri Johor di bawah teraju Barisan Nasional berlangsung jalan lancar, kurang

bercakap malah lebih bekerja, kewujudan jawatankuasa tidak perlu dan tidak ada kepentingan. Apa guna berkain samping, jika tidak dengan sujinya, apa guna jadi pemimpin jika tidak dengan akalnya. Hari ini kerajaan negeri mempunyai barisan EXCO penuh dedikasi serta terbukti melaksanakan tanggungjawab sebagaimana mandat rakyat dalam pilihan raya negeri yang lalu. Dalam hal ini Mahkota mempersoalkan mengapa nak wujudkan sedangkan negeri kita lancar dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melaksanakan amanah dengan penuh wibawa. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Rang Undang-Undang ini telahpun dibentang, dibahas dan mendapat sokongan lebih 2/3 dari Ahli Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara. Malahan, 31 Ogos 2022 yang lalu telah pun diperkenankan oleh baginda Yang Dipertuan Agong hanya tunggu Mesyuarat Majlis Raja-Raja. (Dewan bertepuk).

YB Skudai, sedar atau apa yang dibawa ini dikhuatiri mempertikai keputusan Parlimen yang melaksanakan amanah berasaskan perundangan dan saluran terbaik untuk demokrasi berparlimen. Selaku Wakil Rakyat tentunya YB-YB berpegang kepada keluhan perlembagaan dan akur terhadap kewujudan dan ketajaman perjalanan Rang Undang-Undang. YB-YB mesti memelihara ketertiban dan keterikat dalam prinsip Rukun Negara yang berteraskan kesopanan dan kesusilaan.

Mahkota ulangi sekali lagi pada YB-YB di sana, tak perlulah diwujudkan jawatankuasa sebagai batu loncatan atau bahan retorik politik terbaru sedangkan sekarang adalah masa untuk bekerja. Justeru kenapa tidak YB-YB di sana bersama memaju dan menyemarakkan perkembangan negeri Johor. YB-YB BN sedang sibuk mencuci segala daki yang ditinggalkan oleh YB-YB pada penggal yang lalu (Dewan bertepuk). YB di sana sibuk nak jadi hero tapi sayang dah tak ada gigi masa untuk menunjuk kekebalan diri pun dah terlambat. Lebih dari itu, bukankah RUU tersebut amat baik khususnya mengekang kewujudan katak-katak yang merosakkan demokrasi negara atau YB-YB sana lebih suka ada katak-katak. Sesungguhnya kerajaan yang berpaksi kepada mandat rakyat sebagaimana Barisan Nasional akan berusaha kepada ke arah kestabilan dan kemajuan iaitu amat jauh berbeza dengan kerajaan 22 bulan yang lebih banyak membawa musibah malah pelbagai perubahan cuba dilakukan tanpa melihat kepada polisi dan dasar yang akhirnya menyusahkan rakyat negeri Johor dan negara secara keseluruhannya.

Batang betik, batang bertarah, batang keladi buah bidara, orang cerdik penyambung lidah, bekerja berkhidmat demi kesejahteraan. Sesungguhnya bagi BN, kerajaan hari ini bukanlah masa untuk membentuk jawatankuasa kerana BN dah memang hebat dengan mempunyai ADUN yang lebih daripada 2/3. BN mengambil ruang untuk mengangkat kembali martabat bangsa Johor yang sebelum ini dicoreng arang oleh kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan Perikatan Nasional. Apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini bukan sandiwara main-main atau sekadar berpeluk tubuh sebagaimana pihak di sana yang hanya tahu mencari salah tapi enggan pula melontar idea yang ke arah kebaikan. Bukti nyata, apabila Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia memaklumkan Johor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara iaitu sebanyak RM60.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2022. Kerajaan baru menarik pelabur mengembalikan negeri ini sebagai tumpuan bukan hanya dalam negara malah juga dari pelabur asing. Ingat, dalam RM60 bilion itu pasti yang di sana pun teringin nak mengendeng mintak peruntukan dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Speaker

Yang Berhormat, satu minit lagi.

Ai dah habis ke. Bila yang molek tu tak cakap tak apa. Yang tua sikit ni bagi lama sikit.

Akhir kata, Mahkota tegaskan cadangan pengwujudan jawatankuasa amat tidak relevan ditambah dengan perkembangan semasa pentadbir kerajaan negeri Johor yang cekap,

efisyen dan penuh dedikasi. Sekarang masa bekerja bukan untuk bentuk ataupun tebuk atap gali lubang dan bunuh kawan. Mahkota mohon Rundingan ini ditolak. Sekian, terima kasih (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju dengan Rundingan yang dibawa oleh YB Skudai jemput angkat tangan. Yang tidak bersetuju dengan Rundingan YB Skudai, Rundingan itu tidak dipersetujukan. (Dewan bertepuk).

Apapun saya yakin tidak ada seorang pun dikalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ada di Dewan ini akan masuk dalam kluster katak insya-Allah. Alhamdulillah, silakan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, selesai sudah Persidangan kali ini. Terima kasih diucapkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan. Saya mendoakan Ahli-Ahli Yang Berhormat selamat balik ke kawasan masing-masing bersiap siaga menghadapi bencana banjir dan kita berharap bertemu, bertembung, berperang dalam PRU Yang Ke-15 tidak lama lagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12:22 tengahari.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Tuan Haji Zainal bin Eran

Penolong Jurutulis Encik Azlan Afandi bin Sauffee Afandi

Koordinator Cik Norzita binti Abdul Aziz

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Siti Rojimah binti Abd Razak Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Raihanah binti Ismail

Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar