Johor · 1 December 2022

1st session, 4th meeting · 53 turns · 14,811 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita memulakan Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15. Persidangan ini akan mengambil masa selama 7 hari sehingga 11 Disember 2022.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada pagi ini juga, kita akan mendengar Pembentangan Belanjawan 2023 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Ke-19. Ini adalah ucapan bajet sulung oleh Yang Amat Berhormat. Sudah tentu semua pihak khususnya rakyat Johor amat teruja menantikannya.

Bajet adalah nadi dan tunggak utama yang menghidupkan fungsi Dewan Negeri. Ia perlu dibahas, dirunding dan diluluskan. Semoga Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas dengan penuh teliti, bertanggungjawab dan bijaksana demi maju Johor.

Sebelum itu, Dewan yang mulia ini ingin merakamkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. (Dewan bertepuk).

Tahniah juga kepada Ahli Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Perling dan Yang Berhormat Simpang Jeram kerana menang kerusi Parlimen di PRU Ke-15 baru-baru ini.

Dan paling istimewa setinggi tahniah kepada pasukan JDT kerana menjuarai Piala Malaysia. (Dewan bertepuk). JDT adalah lambang kualiti, kepimpinan, profesionalisme, konsistensi, daya juang, team work dan gelora menjuarai. Luaskan kuasamu. Terima kasih.

Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 32 hingga 46 Tahun 2022.

Bilangan 32 Tahun 2022 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Ketiga Tahun 2022. Bilangan 33 Tahun 2022 - Laporan Jawatankuasa Belanjawan Negeri Mengenai Peranggaran Negeri Johor Tahun 2023. Bilangan 34 Tahun 2022 - Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2023. Bilangan 35 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Negeri Tahun 2021. Bilangan 36 Tahun 2022 - Laporan Ketua Audit Negara Johor Tahun 2021 dan Penyata Memorandum mengenai :

• Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri.

Bilangan 37 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Mersing. Bilangan 38 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Tangkak. Bilangan 39 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Pontian. Bilangan 40 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Johor Bahru. Bilangan 41 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Batu Pahat. Bilangan 42 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Kluang. Bilangan 43 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Kota Tinggi. Bilangan 44 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Kulai. Bilangan 45 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Segamat. Bilangan 46 Tahun 2022 - Resolusi Untuk Menubuhkan Akaun Amanah di Bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) Bagi Tujuan Tabung Bantuan Bencana Di Daerah Muar.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 47 Tahun 2022.

Bilangan 47 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Yayasan Warisan Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 48 Tahun 2022.

Bilangan 48 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 49 Tahun 2022.

Bilangan 49 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Perbadanan Islam Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 50 Tahun 2022.

Bilangan 50 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan menurut Peraturan Tetap 15(3) supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022 dikemukakan sekarang tanpa mengikut Susunan Perkara-Perkara Mesyuarat.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022 dikemukakan sekarang.

Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022 dibaca kali yang pertama.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2023 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Johor Lama tulisan hikayat, susuri zaman bangsa terbilang; sederap makmur bersama rakyat, teguh bersama negeri gemilang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, dapat kita bersama-sama hadir dalam Pembentangan Belanjawan Johor 2023.

Marilah kita juga memperbanyakkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, yang sentiasa menjadi pedoman buat kita sehingga ke akhir zaman. Sebelum meneruskan ucapan pembentangan belanjawan ini, izinkan saya untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu.

Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya. Patik menjunjung kasih di atas segala nasihat, bimbingan dan panduan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang bertali arus bak sungai yang mengalir, demi memastikan pentadbiran Negeri Johor terus diperkasa dengan memacu Agenda Maju Johor 2030.

Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Johor, atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Kejayaan JDT menjadi pasukan pertama menjulang 4 piala dalam satu musim (Dewan bertepuk) iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Juara Liga Super dan terbaru Piala Malaysia sememangnya merupakan satu lakaran sejarah luar biasa dan gemilang yang cukup membanggakan.

Saya juga berasa amat gembira apabila Kontinjen Johor mencipta sejarah yang cukup bermakna apabila buat pertama kalinya menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 (Dewan bertepuk) yang diadakan di Kuala Lumpur pada September lalu.

Ledakan kejayaan luar biasa JDT dan Kontinjen SUKMA Johor ini bukan sahaja akan terpahat utuh dalam minda dan sanubari setiap Bangsa Johor tetapi lebih daripada itu, adalah inspirasi yang meniupkan api semangat untuk kami semua mengikut jejak langkah yang sama untuk terus memberi komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dari segi cetusan idea, pemikiran dan kudrat bagi memastikan Agenda Maju Johor 2030 bukan hanya satu pahatan mimpi tetapi agenda untuk masa depan yang akan direalisasikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, patik turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berserta Majlis Raja-Raja yang telah dengan hemah dan bijaksana, menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan negara selepas Pilihan raya Umum Yang Ke-15.

Patik berdoa agar keputusan dan langkah berhikmah ini bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik tetapi lebih penting lagi, ia berupaya memastikan usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan memperkasa kesejahteraan Bangsa Johor.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10. Selamat maju jaya saya ucapkan.

Kepada Bangsa Johor yang saya kasihi sekalian, saya memohon dan merayu, sama-samalah kita berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk mencorakkan masa depan Johor yang lebih gemilang. Marilah kita memupuk semangat kebersamaan atau spirit of togetherness di kalangan rakyat Johor yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya. Sesungguhnya muafakat itu berkat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya melangkah lebih jauh dalam membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2023 ini, izinkan saya untuk terlebih dahulu mengulas sedikit berkenaan senario dan prospek ekonomi hari ini.

Ekonomi semasa dunia berada dalam keadaan yang mencabar dan tidak menentu. Pertumbuhan ekonomi pasca pandemik secara relatifnya masih berada pada paras yang rendah. Situasi ini adalah impak daripada peperangan antara Russia dengan Ukraine, perubahan iklim dunia, pengukuhan nilai mata wang Dollar Amerika dan kadar kenaikan inflasi global. Implikasinya, pertumbuhan ekonomi global dijangka menyederhana iaitu pada kadar 2.7% pada tahun 2023 – pertumbuhan global paling lemah sejak tahun 2001.

Ekonomi Malaysia pastinya tidak terkecuali daripada berhadapan dengan impak yang sama. Walaupun kita berada dalam fasa pemulihan, ketidaktentuan ekonomi global ini tentunya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk negeri Johor yang berekonomi terbuka. Lantaran itu, Kerajaan Persekutuan meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar sederhana iaitu 4 hingga 5% sahaja pada tahun 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi Negeri Johor pula, syukur alhamdulillah suka saya kongsikan bahawa keadaan ekonomi Johor kembali rancak dalam era pemulihan ini. Meskipun dihimpit oleh ketidaktentuan ekonomi, Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini di sumbang oleh empat faktor utama:

1. Kedudukan politik Johor yang masih lagi stabil.

2. Polisi-polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur.

3. Pembukaan semula sempadan antara Johor – Singapura mulai 1 April tahun ini dan,

4. Penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan. Hasilnya, prestasi ekonomi yang memberangsangkan sebagaimana dibuktikan oleh data dan statik berikut: 1. Johor mencatatkan penerimaan pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM60.9 bilion.

2. Jumlah eksport Johor sehingga September tahun ini berjumlah RM246 bilion, peningkatan 42% berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak RM173 bilion.

3. Jumlah import pula telah meningkat kepada RM209 bilion iaitu peningkatan sebanyak 49% daripada RM140 bilion pada tahun sebelumnya.

4. Sektor pembinaan mencatatkan tanda-tanda pemulihan bagi separuh tahun ini dengan nilai berjumlah RM5.68 bilion berbanding RM5.15 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

5. Kadar pengangguran kini telah mencatatkan penurunan daripada 4% pada suku ketiga tahun 2021 kepada hanya 2.5% pada tahun ini. Kadar ini juga merupakan yang terendah berbanding negeri-negeri yang lain. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai kerajaan negeri yang prihatin saya akan memperincikan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2023 ini yang bertujuan untuk

mengurangkan impak ekonomi global dan memastikan sasaran pertumbuhan dapat dipacu dan insya-Allah akan mempertingkatkan kesejahteraan Bangsa Johor. Sebagai seorang yang beragama Islam kita dituntut untuk sentiasa berpandu pada Al-Quran dan Sunah dalam segenap aspek kehidupan. Aspek ekonomi juga turut tidak terkecuali. Dalam hal ekonomi misalnya, Allah SWT berfirman dalam surah Yusuf ayat ke- 46 hingga ayat ke-49 yang berbunyi, (bacaan ayat al-Quran). Yang bermaksud : “Yusuf, wahai orang-orang yang sangat dipercayai. Terangkanlah kepada kami (takwil mimpi) tentang 7 ekor lembu betina yang gemuk yang dimakan oleh 7 ekor lembu betina yang kurus. 7 tangkai gandum yang hijau dan 7 tangkai lainnya kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahui”. “Dia (Yusuf) berkata agar kamu bercucuk tanam 7 tahun berturut-turut sebagaimana biasa, kemudian apa yang kamu tuai hendaklah membiarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang 7 tahun yang sangat sulit yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (yakni tahun sukar) kecuali sedikit daripada apa (gandum), yang kamu simpan. Setelah itu akan datang tahun di mana manusia diberi ujian (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memerah hasil”. Yang Berhormat Datuk Speaker, secara ringkasnya ayat ini mengisahkan kepada kita akan kitaran ekonomi yang turun naik. Ada masanya kitaran ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik. Namun ada kalanya kita berada dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Apa yang penting ialah kita perlu menyediakan perancangan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan serta rizab simpanan yang mencukupi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor sememangnya amat unik dan istimewa dalam pensejarahan Malaysia. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Johor merupakan pengasas sebuah negara bangsa. Segalanya bermula di hujung tanah ini. Perkara ini saya bangkitkan dalam ucapan belanjawan ini kerana ia mendasari kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor. Garis masa sejarah menjadi saksi bahawa kombinasi berintegriti dan berwawasan Kesultanan Johor Moden, Kerajaan Negeri Johor dan Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor mampu menjayakan agenda Maju Johor bertunjangkan pemikiran maju, moden dan berbudaya. Sehubungan itu kerajaan negeri Johor memilih tema Belanjawan 2023 iaitu “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat” sebagai satu kesinambungan perjuangan memartabatkan pertumbuhan ekonomi Johor yang gemilang sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Sebagaimana tema yang dipilih dan didukung Belanjawan Johor 2023 ini dirangka dengan 3.8 juta rakyat Johor sentiasa berada di hati dan benak fikiran kerajaan negeri Johor. Suara hati, jiwa dan minda mereka, kita selami bersama keadaan dan situasi semasa, maka lahirlah Belanjawan Johor 2023 ini. Yang Berhormat Datuk Speaker pada 14 Jun yang lalu saya telah menyampaikan amanat pertama saya kepada seluruh Bangsa Johor selaku Menteri Besar Johor yang baharu. Dalam amanat tersebut saya telah memperkenalkan Agenda Maju Johor yang menggariskan 6 teras sebagai tunjang utama dalam memastikan visi menjadikan Johor sebuah negeri maju bakal menjadi realiti, insya-Allah. Belanjawan Johor 2023 ini juga merupakan belanjawan pertama saya sebagai Menteri Besar Johor. Belanjawan ini bukan saja berkesinambungan pada agenda Maju Johor yang digagaskan tetapi yang lebih penting lagi ia akan memanifestasikan bagaimana agenda ini akan difokus dan dilaksanakan untuk 2023 nanti. Selari dengan agenda Maju Johor juga Belanjawan Johor akan ditunjangi oleh 6 teras dengan setiap teras didukung oleh beberapa strategi dan setiap strategi disokong ampuh oleh beberapa inisiatif.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2023 unjuran hasil negeri Johor adalah sebanyak RM1,734.18 juta. Unjuran perbelanjaan pada tahun 2023 pula adalah sebanyak RM1,731.74 juta. Angka-angka ini menunjukkan belanjawan 2023 merupakan belanjawan lebihan atau pun surplus bajet iaitu sebanyak RM2.44 juta. Sejumlah RM1,126.74 juta diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus. Pecahan belanja mengurus meliputi perkara-perkara berikut:-1. Emolumen sebanyak RM559.54 juta. 2. Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak RM316.73 juta. 3. Aset sebanyak RM27.86 juta. 4. Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM209.37 juta. 5. Perbelanjaan lain sebanyak RM13.24 juta

Anggaran perbelanjaan pembangunan pula secara keseluruhan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM600 juta yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2023 kerajaan negeri mensasarkan pungutan hasil sebanyak RM1,734.18 juta iaitu peningkatan sebanyak RM62.6 juta atau 3.7% berbanding tahun 2021. Berdasarkan anggaran tersebut, sebanyak RM836.48 juta disumbangkan melalui cukai langsung, manakala RM24.53 juta melalui cukai tidak langsung. 90% hasil cukai yang dikutip adalah bersumberkan cukai tanah.

Selain itu pendapatan hasil bagi Pihak Berkuasa Tempatan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri Johor. Secara keseluruhan pada tahun 2023, anggaran hasil yang dijangka dikutip oleh semua 16 PBT adalah sebanyak RM1,697.09 juta. Pendapatan ini akan menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1,693 juta.

Menyedari akan situasi di mana perbelanjaan negeri semakin meningkat saban tahun terdapat keperluan untuk kerajaan negeri meneroka kaedah baharu bagi meningkatkan hasil. Langkah berstruktur dan mampan untuk menggembleng segala sumber yang ada agar hasil kerajaan negeri dapat ditingkat perlu dilaksanakan. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan negeri memerlukan sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak untuk bersama menyatukan segala sumber dan usaha demi kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat negeri ini.

Antara langkah strategik yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan hasil termasuklah.

1. Melaksanakan pendigitalan sistem pentadbiran kerajaan bagi urusan pembayaran secara atas talian yang dikenali sebagai JOHORPAY.

2. Memperluaskan pembayaran secara atas talian bagi bayaran bukan cukai tanah, bayaran lesen halal, bayaran cukai harta di bawah Pihak Berkuasa Tempatan serta pelbagai agensi kerajaan yang lain.

3. Melaksanakan kajian bagi cadangan pelupusan tanah secara tender terbuka bagi tanah-tanah kerajaan yang berpotensi dan mempunyai nilai komersial yang memberi impak kepada kawasan sekitar sekiranya tanah tersebut dibangunkan.

4. Melaksanakan kajian berkenaan pajakan tanah rizab bagi memperkasa hasil negeri serta membantu menyelesaikan isu penyelenggaraan rizab.

5. Meneroka hasil baru bagi kerajaan negeri terhadap pengenaan cukai karbon yang selaras dengan Kerajaan Persekutuan.

TERAS PERTAMA : TADBIR URUS KERAJAAN. Yang Berhormat Datuk Speaker, teras pertama dalam agenda Maju Johor ialah tadbir urus kerajaan. Bagi menjayakan agenda tersebut, perkara paling penting ialah mentransformasi tadbir urus kerajaan bagi menghasilkan sistem penyampaian awam yang berintegriti, berprestasi tinggi, cekap dan berkesan. Johor gemilang jadi tumpuan, bangsanya luhur tidak terperi, perkasa tadbir urus kerajaan, demi ketulusan memakmurkan negeri. Sehubungan itu, di bawah tadbir urus kerajaan terdapat 4 strategi dan 13 inisiatif yang dirangka.

Strategi 1 : Meningkatkan Kompetensi Perkhidmatan Awam Dan Modal Insan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Strategi pertama ialah Meningkatkan Kompetensi Perkhidmatan Awam dan Modal Insan. Penubuhan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor, Akademi JCS akan terus memacu ekonomi transformasi dalam perkhidmatan awam di Johor. Sehubungan itu, terdapat 3 inisiatif di bawah strategi ini.

Inisiatif 1 : Memperkasa Kepakaran Penjawat Awam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif pertama dalam strategi ini ialah Memperkasa Kepakaran Penjawat Awam. Sepanjang tahun 2022, lebih 30 program berjaya dilaksanakan bersama sembilan rakan kerjasama strategik Akademi JCS. Antara pencapaian yang paling membanggakan, adalah penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah daripada (UTM), Universiti Teknologi Malaysia kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. (Dewan bertepuk). Beliau juga adalah Setiausaha Kerajaan yang pertama memperolehi Ijazah Doktor Falsafah semasa menjawat jawatan ini. Pastinya kejayaan yang dicapai oleh Yang Berhormat Tan Sri selaku Ketua Perkhidmatan Awam Negeri akan menjadi tauladan dan inspirasi kepada seluruh penjawat awam di Negeri Johor. Ini terbukti apabila pencapaian ini diteruskan oleh tiga orang Pegawai JCS yang turut berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah. Mereka ialah Yang Berhormat Datin Paduka Dr. Suhailizan binti Suliman, Dr. Haji Amirul Haffiz bin Ariff dan Dr. Mohd Shahrizan bin Sahid.

Saya juga mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada 25 graduan Sarjana Sains Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM), yang terdiri daripada Pegawai JCS serta Pegawai Pengurusan dan Profesional Pejabat SUK. Selain itu, dua orang Pegawai JCS iaitu Encik Fayzul bin Dato' Haji Omar dan Tuan Syed Aminuddin bin Syed Salleh juga sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Nanyang Technology University (NTU) dan National University of Singapura (NUS) di bawah tajaan kerajaan Singapura.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan izin, saya ingin mempersilakan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani bersama para pegawai ini untuk bangun berdiri dan marilah kita semua memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada mereka. (Dewan bertepuk)

Berdasarkan rantaian kejayaan tersebut, maka program pengajian di peringkat PhD dan Sarjana serta pelbagai program yang melahirkan subject matter experts akan diteruskan pada tahun 2023 dan sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Kerajaan Negeri juga akan memperluaskan jaringan kolaborasi di peringkat global bagi memperkayakan pengetahuan, kompetensi, kemahiran dan pengalaman dalam kalangan penjawat awam.

Inisiatif 2 : Kemahiran Teknologi Digital Data Raya.

Inisiatif kedua di bawah strategi ini, ialah Kemahiran Teknologi Digital Data Raya. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM150,000.00 bagi melaksanakan Program Kursus Microsoft Power BI kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Inisiatif 3 : Meningkatkan Profesionalisme Institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat.

Inisiatif ketiga pula ialah Meningkatkan Profesionalisme Institusi Ketua Kampung Dan Ketua Masyarakat. Sesuai dengan keperluan semasa, institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat perlu ditransformasi agar dapat melahirkan kepimpinan yang profesional dan berkemahiran. Justeru, sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif sepertimana berikut :

1. Menawarkan kursus jangka pendek yang akan memberi pendedahan berkaitan protokol,komunikasi dan pentadbiran kepada semua Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat;

2. Insentif secara one-off kepada Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Eksekutif;

Strategi 2 : Penyampaian Perkhidmatan Yang Responsif

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua di bawah Teras Tadbir Urus ialah Penyampaian Perkhidmatan Yang Responsif. Sejak Mac 2022, saya memberi tumpuan kepada usaha-usaha menambah baik sistem penyampaian awam berprestasi tinggi, khususnya yang melibatkan urusan rakyat secara langsung. Untuk tujuan tersebut, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan.

Inisiatif 1 : Sumbangan Kepada Pegawai Daerah.

Inisiatif pertama ialah Sumbangan Kepada Pegawai-Pegawai Daerah. Kerajaan Negeri memahami akan beban tugas seorang Pegawai Daerah. Mereka terpaksa menjalankan tugas berkhidmat kepada rakyat tidak kira siang mahupun malam. Merekalah yang pertama menyingsing lengan dan turun padang jika berlaku bencana. Mereka jugalah yang menyelaraskan segala program rakyat di peringkat daerah bersama ADUN-ADUN.

Dalam menghargai komitmen dan kesungguhan para Pegawai Daerah, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskan sumbangan keraian untuk meringankan beban kewangan pejabat-pejabat daerah dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. (Dewan bertepuk).

Inisiatif 2 : Rejuvenasi Perumahan Johor.

Inisiatif kedua iaitu Rejuvenasi Perumahan Johor. Melalui Planning, Design and Review Committee yang ditubuhkan oleh pelaksanaan Fast Lane Approval, tempoh kelulusan cadangan perumahan rakyat di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan akan dipendekkan daripada 99 hari kepada 45 hari sahaja. Kerajaan Negeri akan melaksanakan program galakan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) melalui penyelarasan harga rumah, caj gantian dan pindaan komposisi RMMJ di atas tanah kurang 5 ekar.

Sebagai respon kepada maklum balas rakyat dan pihak berkepentingan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah melaksanakan perubahan drastik bagi menambahbaik dan memudahkan urusan mereka. Antaranya termasuklah:

1. Semua maklumat berkaitan pembangunan Rumah Mampu Milik Johor akan dapat diakses oleh orang awam melalui dashboard pengkalan data yang dikenali sebagai Johor Real Estate Information Centre (JREIC).

2. Pelaksanaan One Stop Centre (OSC) bagi membolehkan urusan penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), penyempurnaan perjanjian jual beli serta permohonan pembiayaan dilaksanakan secara serentak dan;

3. Pembelian hartanah bumiputera dipermudahkan apabila urusan tersebut boleh dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian melalui portal hartanah di bawah sistem e-Rumah Johor.

Inisiatif 3 : Kurniaan Tanah Kepada Generasi Ke-2 FELDA.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif ketiga ialah Kurniaan Tanah Kepada Generasi Ke-2 FELDA. Sejak tahun 2020 hingga tahun 2022, Pentadbiran Tanah Johor telah menyelesaikan 3,561 permohonan berkaitan tanah FELDA. Untuk tahun 2023, Pentadbiran Tanah Negeri Johor mensasarkan 4.000 permohonan kurniaan tanah bagi Generasi Kedua FELDA melibatkan 15 buah Rancangan FELDA di Johor diselesaikan.

Inisiatif 4 : Fast Track Nil 3.0.

Inisiatif keempat pula ialah Fast Track Nil 3.0. Pada masa kini terdapat 22,487 pegangan hak milik tanah yang tiada syarat nyata tanah. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan melanjutkan inisiatif bagi membolehkan permohonan pengenaan syarat nyata tanah diluluskan dalam tempoh 7 hari bekerja sahaja berbanding tempoh 3 hingga 6 bulan bagi permohonan ubah syarat biasa.

Inisiatif 5 : Kebenaran Pindahmilik Rumah Kos Rendah.

Inisiatif kelima di bawah strategi ini ialah Kebenaran Pindahmilik Rumah Kos Rendah. Kerajaan Negeri juga prihatin terhadap proses permohonan kebenaran pindahmilik bagi Rumah Kos Rendah yang melibatkan dua agensi iaitu Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Pentadbiran Tanah Johor. Bagi mengurangkan kerenah birokrasi, Kerajaan Negeri bersetuju agar kebenaran pindahmilik tersebut hanya perlu diperolehi daripada PKPJ sahaja. Surat kelulusan daripada PKPJ tersebut akan turut digunakan dalam proses pindahmilik di Pentadbiran Tanah Johor.

Inisiatif 6 : Pengecualian Fi Bagi Mendaftarkan Pindahmilik Melalui Perintah Hibah Sesama Ahli Keluarga.

Inisiatif keenam ialah Pengecualian Fi Bagi Mendaftarkan Pindahmilik Melalui Perintah Hibah Sesama Ahli Keluarga. Bagi melaksanakan inisiatif tersebut mengikut hukum syarak dan peruntukan Undang-Undang Tanah maka ia perlu disempurnakan menerusi Borang 14A Kanun Tanah Negara. Bagi menyokong inisiatif ini, sukacita saya umumkan Kerajaan Negeri bersetuju memberikan pengecualian penuh bayaran pendaftaran Borang 14A bagi transaksi pindahmilik tersebut. (Dewan Bertepuk).

Strategi 3 : Memperhebat Johor Baru (Greater Jb).

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, Strategi ketiga di bawah teras ini ialah Memperhebat Johor Bahru ataupun Greater JB. Bagi merealisasikan agenda Memperhebat Johor Bahru, 4 buah PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai akan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama strategik ke arah pemantapan sistem tadbir urus yang cekap dan berkesan.

Bagi menterjemahkan aspirasi ini, sebanyak 148 pelan tindakan telah dirangka untuk dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 5 tahun bermula tahun depan. Butiran inisiatif akan diperincikan di dalam teras-teras Agenda Maju Johor yang berikut.

Strategi 4 : Memperkukuh Integriti Dan Menaiktaraf Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, Strategi keempat di bawah Teras Tadbir Urus ialah Memperkukuh Integriti Dan Menaik taraf Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan. Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pengukuhan elemen integriti di dalam tadbir urus kerajaan. Strategi ini juga akan diselarikan dengan teknologi digital dalam usaha mewujudkan masyarakat Johor yang terhubung dan berbudaya digital. Untuk tujuan tersebut 4 inisiatif akan dilaksanakan:

Inisiatif 1 : Media Digital Johor.

Inisiatif pertama ialah Media Digital Johor. Penubuhan Jabatan Media Digital Johor (MDJ) adalah cetusan idea Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai pusat setempat bagi menyampaikan berita sahih dan dipercayai kepada rakyat. Ini termasuk hal berkaitan dasar dan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan dan Institusi DiRaja. Sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan bagi pengoperasian Media Digital Johor pada tahun 2023.

Inisiatif 2 : Pendigitalan Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Inisiatif kedua di bawah strategi ini, ialah Pendigitalan Sekolah Agama Kerajaan Johor. Jaringan internet kini merupakan salah satu keperluan asas dalam menyokong pembangunan modal insan. Oleh itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) memperuntukkan sebanyak RM400,000.00 bagi pemasangan Wi-Fi di 140 buah sekolah agama kerajaan Johor. Seramai 190,000 orang pelajar akan menikmati manfaat daripada kemudahan ini.

Inisiatif 3 : Masyarakat Johor Berinformasi Dan Berbudaya Digital.

Inisiatif ketiga di bawah teras ini adalah Masyarakat Johor Berinformasi Dan Berbudaya Digital. Menerusi ICT@Johor, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM7.2 juta bagi membiayai pembangunan sistem baharu dan menyelenggara sistem sedia ada supaya dapat digunakan secara lebih komprehensif. Antaranya, seperti penggunaan sistem JohorPay diperluaskan bagi pembayaran secara atas talian. Berkaitan perumahan negeri seperti pembayaran sewa bulanan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), bayaran kelulusan pindah milik, bayaran Sijil Bumiputera dan lain-lain.

Inisiatif 4 : Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

Inisiatif keempat, ialah Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah. Kerajaan negeri akan melaksanakan Pensijilan MS ISO Anti Bribery Management System (ABMS) atau Sistem Pengurusan Anti Rasuah di jabatan serta agensi kerajaan negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00.

Teras Kedua : Pembangunan Ekonomi.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, benang Johor ragam serasi, khazanah berzaman hiasan lama, pembangunan ekonomi tunggak aspirasi, nadi kemajuan kemakmuran sama. Teras kedua ialah pembangunan ekonomi. Untuk menjadikan Johor negeri maju, dasar-dasar dan pendekatan baharu yang sesuai diperlukan bagi pembangunan ekonomi yang mampan. Justeru, bagi tujuan memperkasa sektor ekonomi, kerajaan negeri akan melaksanakan 6 strategi dan 29 inisiatif.

Strategi 1 : Memperkasa Misi Pelaburan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Strategi pertama ialah memperkasa misi pelaburan. Walaupun negeri Johor telah menerima nilai pelaburan tertinggi di Malaysia pada tahun ini, namun, usaha yang berterusan perlu dipergiat bagi memastikan Agenda Maju Johor dapat direalisasikan. Oleh itu, kerajaan negeri akan terus melaksanakan inisiatif seperti berikut:

Inisiatif 1 : Pemerkasaan Dan Pengkorporatan Invest Johor.

Inisiatif pertama ialah pemerkasaan dan pengkorporatan Invest Johor. Peranan Invest Johor akan diperluas melalui penaiktarafan kepada sebuah badan korporat yang berfungsi sebagai focal point sektor pelaburan yang tidak terhad kepada sektor pengilangan dan acara perniagaan sahaja malah mencakupi sektor-sektor yang lain juga.

Inisiatif 2 : Misi Galakan Pelaburan Pameran Perdagangan Dan Penyertaan Ekspo Antarabangsa.

Inisiatif kedua dalam strategi ini, ialah misi galakan pelaburan pameran perdagangan dan penyertaan ekspo antarabangsa. Misi galakan pelaburan keluar negara yang berpotensi berdasarkan sektor-sektor yang telah dikenal pasti seperti pusat data, petrokimia, farmaseutikal dan sektor-sektor utama yang lain. Selain itu, kerjasama negeri Johor terus, kerajaan negeri Johor terus memberi sokongan terhadap penyertaan dalam ekspo antarabangsa. Inisiatif ini melibatkan kerjasama pintar dengan jabatan serta agensi pelaburan lain yang berkaitan seperti Invest Johor, JETCO, MIDA, MITI, MDEC, IRDA, ECERDC, IIB, JPDC dan lain-lain. Bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Inisiatif 3 : Friendly Johor 2.0.

Inisiatif ketiga, ialah Friendly Johor 2.0 yang merupakan sesi libat urus bersama rakan organisasi pelabur, pemain industri dan lawatan ke agensi promosi domestik dalam meningkatkan keyakinan pelabur berpotensi untuk memilih Johor sebagai destinasi pilihan pelaburan utama yang strategik, menarik, mesra dan selamat. Bagi pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan.

Inisiatif 4 : Johor Go Global 2.0.

Manakala inisiatif keempat pula, ialah Johor Go Global 2.0. Sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi inisiatif ini untuk mempromosi negeri Johor sebagai satu jenama lokasi pelaburan yang strategik melalui platform digital.

Inisiatif 5 : penganjuran Johor International Business Summit.

Inisiatif kelima pula, ialah penganjuran Johor International Business Summit. Melalui inisiatif ini, sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi pelaksanaan program bertaraf antarabangsa yang melibatkan para pelabur dan pemain utama industri dari dalam dan luar negara.

Strategi 2 : Menyediakan Peluang Latihan Kemahiran Dan Pemadanan Pekerjaan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua ialah menyediakan peluang latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan. Menyedari kesan pandemik COVID-19, kerajaan negeri Johor memberi reaksi pantas dengan mewujudkan inisiatif bagi memulih dan meningkatkan pasaran tenaga kerja di Johor dengan menawarkan program-program reskilling dan upskilling serta latihan kemahiran pendidikan teknikal dan latihan vokasional (KVAT) dan inisiatif lain sebagaimana berikut:

Inisiatif 1 : Hub Skill Johor.

Inisiatif pertama ialah Hub Skill Johor. Kerajaan negeri melalui YPJ Holdings akan terus berusaha bagi memastikan Johor dilengkapi dengan infrastruktur terbaik terutamanya daripada segi pembangunan kemahiran yang akan beroperasi pada tahun 2023. Kampus latihan seluas 35 ekar ini akan menjadi kampus termoden di Johor yang mampu menampung sehingga 6,000 pelatih dengan kos pembinaan sebanyak RM107 juta. Kampus ini akan menumpukan kepada bidang perniagaan, kesihatan, minyak dan gas, perkhidmatan dan peruncitan, hospitaliti dan pelancongan serta bioteknologi dan logistik.

Inisiatif 2 : Program Latihan Kemahiran Johor.

Inisiatif kedua ialah Program Latihan Kemahiran Johor. Di bawah inisiatif ini, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan memperuntukkan sebanyak RM3.65 juta bagi melaksanakan program-program berikut:

1. RM3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Latihan Kemahiran Johor (Pro Mahir) untuk latihan kemahiran upskilling dan reskilling dalam bidang-bidang yang mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti bidang automotif, minyak dan gas, aero angkasa, kesihatan, elektronik dan robotik.

2. RM150,000.00 diperuntukkan bagi pelaksanaan Programme Skill Enhancement untuk latihan jangka masa pendek atau latihan secara One-Off oleh Institut Dato’ Onn.

3. RM500,000.00 diperuntukkan kepada Tabung Latihan Kemahiran Johor yang akan digunakan untuk menampung sebahagian daripada bayaran pinjaman 250 orang pelajar Kolej Kemahiran YPJ yang kurang berkemampuan.

Inisiatif 3 : Gerak Kerja Johor 2023.

Inisiatif ketiga pula ialah Gerak Kerja Johor 2023. Inisiatif ini diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang melibatkan kerjasama strategik agensi kerajaan dan penyertaan pemain industri daripada pelbagai sektor yang bertujuan untuk pemadanan pekerjaan.

Inisiatif 4 : Karnival TVAT SMI 2023.

Inisiatif keempat pula ialah Karnival TVAT SMI 2023. Bagi tujuan mempromosikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000.00 bagi pelaksanaan Karnival TVAT SMI 2023.

Strategi 3 : Memperkasa Industri Pelancongan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi ketiga di bawah teras ini ialah memperkasakan industri pelancongan. Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April tahun ini telah memberi impak kepada peningkatan bilangan pelancong. Perkembangan ini berjaya merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan kegiatan ekonomi tempatan. Justeru, beberapa inisiatif berikut dirangka bagi terus merangsang industri pelancongan.

Inisiatif 1 : Kerja-Kerja Softscape Dan Hardscape Di Pintu Masuk Utama Negeri Johor.

Inisiatif pertama ialah kerja-kerja softscape dan hardscape di pintu masuk utama negeri Johor. Berjiran dengan Singapura dan sebagai pintu masuk utama negara di selatan tanah air. Ia dapat memberi kesan limpahan ekonomi kepada Johor. Justeru itu, melalui empat PBT di daerah Johor Bahru dan Kulai sebanyak RM14.3 juta diperuntukkan bagi mempergiat pelaksanaan kerja-kerja softscape dan hardscape di pintu masuk utama negeri Johor sebagai sebahagian daripada Agenda Retreat JB.

Inisiatif 2 : Penambahbaikan Infrastruktur Pelancongan.

Inisiatif kedua ialah penambahbaikan infrastruktur pelancongan. Pelbagai kemudahan infrastruktur pelancongan juga akan ditambah baik dan diselenggara secara berterusan. Kerajaan negeri akan menyalurkan sejumlah RM8.3 juta bagi tujuan seperti berikut:

1. RM600,000.00 diperuntukkan bagi membaik pulih persediaan membuka Muzium Sultan Abu Bakar DiRaja Johor.

2. RM2 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor.

3. RM1.1 juta diperuntukkan bagi menambah baik pelbagai infrastruktur dalam sektor pelancongan iaitu pintu-pintu masuk jeti, menaik taraf kemudahan awam di Pulau Besar Mersing serta kawasan Air Terjun Kota Tinggi.

4. RM1.8 juta diperuntukkan bagi Taman Negara Johor Gunung Ledang untuk membina kemudahan awam, pintu gerbang, surau berserta landskap, kompleks pelawat, pembinaan medan selera, pusat kraf tangan IKS dan hentian rehat di pintu masuk Air Terjun Gunung Ledang, Tangkak.

5. RM600,000.00 bagi membina surau, landskap serta wall guard dan jambatan di tali air serta tandas awam di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian.

6. RM530,000.00 bagi penyediaan pelan reka bentuk pembangunan di enam Taman Negara di bawah penyelenggaraan Perbadanan Taman Negara Johor.

7. RM620,000.00 untuk pengurusan sampah yang efektif dan berkala di Taman-taman Negara Johor.

8. RM500,000.00 bagi kerja-kerja menaik taraf Taman Eko Rimba Gunung Belumut, Kluang.

9. RM300,000.00 bertujuan menaik taraf fasiliti trek pendakian Gunung Lambak, Kluang.

10. RM250,000.00 diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur dan fasiliti di muzium dan galeri terpilih yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Johor.

Inisiatif 3 : Penganjuran Acara-Acara Pelancongan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif ketiga, ialah penganjuran acara-acara pelancongan Johor. Kejayaan kerajaan negeri dalam penganjuran beberapa acara pelancongan seperti Festival Majestic Johor, Kejohanan Sukan Pelancongan Le’ tape dan Ironman telah menjadi pemangkin kepada kehadiran pelancong ke negeri Johor. Festival Majestic Johor contohnya, telah menerima penghormatan daripada industri pelancongan Malaysia apabila menerima anugerah Gold Award Attractive State Tourism Event. Justeru itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi menganjurkan signature events di peringkat antarabangsa dan domestik. Inisiatif ini dijangka menarik lebih 1 juta pelancong ke acara-

acara pelancongan seterusnya turut memberi limpahan kepada pemain industri pelancongan seperti perhotelan, peruncitan, food & beverage dan juga peniaga-peniaga kecil.

Inisiatif 4 : Pemasaran Dan Promosi Majestic Johor.

Inisiatif keempat ialah pemasaran dan promosi Majestic Johor. Johor perlu memanfaatkan pembukaan semula sempadan dengan melaksanakan strategi pemasaran dan promosi Majestic Johor. Peruntukan sebanyak RM2.45 juta disediakan bagi tujuan promosi segmen-segmen pelancongan meliputi pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan serta pelancongan budaya dan warisan.

Inisiatif 5 : Piawaian Pelancongan Majestic Johor.

Inisiatif kelima pula ialah piawaian pelancongan Majestic Johor. Bagi mengekalkan kualiti perkhidmatan, kebersihan, keselamatan dan kesihatan di pusat-pusat pelancongan negeri Johor. RM620,000.00 diperuntukkan bagi menyediakan satu piawaian khusus yang dapat mengukur tahap kualiti perkhidmatan tersebut. Antaranya, ialah penganjuran Majestic Johor Tourism Award yang akan menjadi tanda aras bagi pemain-pemain industri pelancongan.

Inisiatif 6 : Pemerkasaan Sumber Manusia Sektor Pelancongan.

Inisiatif terakhir ataupun keenam di bawah strategi ini ialah pemerkasaan sumber manusia sektor pelancongan. Barisan hadapan sektor pelancongan iaitu pemandu-pemandu pelancong sangat penting dalam merancakkan sektor pelancongan di negeri Johor. Menyedari keperluan ini sebanyak RM500,000.00 disediakan bagi menyediakan program latihan dan pembangunan kepada 1,000 orang pemandu pelancong sekali gus meningkatkan kapasiti tenaga kerja di sektor ini.

Strategi 4 : Pembangunan Usahawan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Dato’ Speaker, strategi keempat ialah pembangunan usahawan. Bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan dan berdaya saing. Kerajaan negeri terus menyokong Agenda Dasar Keusahawanan Nasional yang memfokuskan kepada komuniti keusahawanan yang inklusif dan kompetitif, khususnya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan adalah sebagaimana berikut :-

Inisiatif 1 : Galakan Melahirkan Usahawan Baharu.

Inisiatif pertama ialah galakan melahirkan usahawan baru dalam usaha membudayakan keusahawanan dalam kalangan Bangsa Johor. Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi pelaksanaan program-program tersebut.

RM1 juta untuk program Road to Entreprenuership bagi menggalakkan 1,000 usahawan baru mendaftar perniagaan. Membuka akaun syarikat dan ke arah cashless society. RM500,000.00 untuk melaksanakan program keusahawanan kepada seramai 6,500 usahawan yang baru. Sebagai tambahan RM400,000.00 diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Johor bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Asnaf melalui kerjasama MAINJ dan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB).

Inisiatif 2 : Pengembangan Usahawan Sedia Ada.

Inisiatif kedua ialah pengembangan usahawan sedia ada. Selain galakan dalam melahirkan usahawan baru, usahawan sedia ada yang aktif juga menjadi fokus kerajaan negeri.

Justeru, peruntukan berjumlah RM4.3 juta disediakan untuk melaksanakan program-program berikut:-

1. Geran Usahawan Bangsa Johor dengan peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk meningkatkan purata pendapatan 240 usahawan mikro melalui pemberian barangan dan peralatan.

2. Promosi produk usahawan Johor dengan peruntukan berjumlah RM800,000.00 bagi mengetengahkan produk tempatan sehinggan menembusi ke peringkat global yang akan memanfaatkan 400 usahawan di seluruh negeri Johor.

3. RM1 juta diperuntukkan bagi jelajah usahawan johor untuk mempromosikan video produk dan perkhidmatan di stesen TV terpilih. Inisiatif akan memberi manfaat kepada 100 usahawan.

4. RM1 juta diperuntukkan bagi program Pengkormesialan Harta Intelek yang merupakan antara PUJB dan Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) bagi membantu syarikat-syarikat start-up dan PMKS untuk menjalankan usaha pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan universiti-universiti tempatan.

5. Sebagai tambahan, Johor Corporation akan memperuntukkan RM330,000.00 bagi program Dana Niaga dan Waqafpreneur yang memberi manfaat kepada 136 usahawan PMKS.

Inisiatif 3 : Program Pembangunan Ekonomi Setempat.

Inisiatif ketiga di bawah Teras Kedua ini ialah Program Pembangunan Ekonomi Setempat. Masyarakat berdikari dapat dilahirkan menerusi ekonomi setempat melalui projek keusahawanan komuniti yang berdaya maju. Bagi merealisasikan matlamat ini RM1 juta diperuntukkan yang memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 40 persatuan serta pertubuhan dalam komuniti. Inisiatif ini ialah Festival Usahawan Bangsa Johor, mohon maaf.

Inisiatif 4 : Festival Usahawan Bangsa Johor.

Inisiatif seterusnya ialah Festival Usahawan Bangsa Johor. RM1 juta disediakan bagi penganjuran Festival Usahawan Bangsa Johor yang memberi manfaat sekurang-kurangnya 500 usahawan dengan capaian 40,000 pengunjung.

Strategi 5 : Memperkasa Industri Makanan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kelima di bawah Teras Kedua ialah Memperkasa Industri Makanan. Dengan mengambil kira negeri Johor sebagai pengeluar utama hasil negara, kerajaan negeri mengambil peluang untuk berperanan sebagai food basket kepada Malaysia dan food bank kepada negara-negara serantau dengan mengeratkan kerjasama bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta kerjasama dengan Singapura melalui perbincangan dalam Joint Ministerial Committee (JMC) bagi memastikan strategi ini dapat direalisasikan, 7 inisiatif berikut juga akan dilaksanakan.

Inisiatif 1 : Program Kolaborasi Strategik Pemodenan dan Pembangunan Lestari.

Inisiatif pertama, ialah Program Kolaborasi Strategik Pemodenan dan Pembangunan Lestari. RM1.9 juta diperuntukkan untuk program ini yang melibatkan 370 usahawan tani dalam mentransformasi bidang pertanian dan industri makanan menerusi sistem mekanisme dan

teknologi tinggi bagi meningkatkan kualiti, kuantiti dan nilai harga produk pertanian berdasarkan amalan pertanian lestari.

Inisiatif 2 : Pembangunan Industri Tanaman Makanan Utama dan Komoditi Berpotensi.

Inisiatif kedua ialah Pembangunan Industri Tanaman Makanan Utama dan Komoditi Berpotensi. RM3.3 juta diperuntukkan bagi industri tanaman makanan utama ini yang akan meningkatkan 6.5% pengeluaran buah-buahan. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 1,000 usahawan tani meliputi pelbagai projek tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sawah padi yang melibatkan keluasan tanah 2,300 hektar. Selain daripada tanaman makanan utama, kerajaan negeri juga akan meningkatkan jumlah jualan komoditi berpotensi seperti tanaman herba, rempah ratus, cendawan, madu dan kopi dengan peruntukan sebanyak RM700,000.00

Inisiatif 3 : Program Pembangunan Industri Asas Tani (IAT).

Inisiatif ketiga ialah Program Pembangunan Industri Asas Tani (IAT). Bagi memperkasakan usahawan IAT, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk pemberian bantuan peralatan yang mensasarkan peningkatan pengusaha mesti memiliki pensijilan MESTI dan HALAL. Peningkatan produktiviti dan kualiti produk yang melibatkan sekurang-kurangnya 135 usahawan IAT.

Inisiatif : Program Pertanian Komuniti.

Inisiatif yang keempat ialah Program Pertanian Komuniti. Kerajaan negeri akui program pertanian amat signifikan sebagai salah satu strategi untuk menggalakkan interaksi sosial sesama komuniti. Maka, peruntukan sebanyak RM800,000.00 akan disediakan bagi program ini untuk meningkatkan pendapatan dan meringankan kos sara hidup dalam komuniti setempat. Selain itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program pembangunan Taman Komuniti Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan sebanyak RM400,000.00 untuk membangunkan dua Taman Komuniti yang berskala besar antara 1 hingga 2 ekar oleh Jabatan Landskap Johor.

Inisiatif 5 : Pembangunan Industri Ternakan.

Inisiatif kelima ialah Pembangunan Industri Ternakan. Industri ternakan ruminan juga akan dapat manfaat melalui inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi tujuan kawalan penyakit dan kesihatan ternakan. Inisiatif ini akan memanfaatkan 3,317 penternak di Johor.

Inisiatif 6 : Pembangunan Industri Perikanan.

Inisiatif keenam ialah Pembangunan Industri Perikanan. Pembangunan industri Akuakultur dan Pemuliharaan Sumber Perikanan juga akan terus diperkasakan dengan peruntukan berjumlah RM600,000.00 yang bertujuan meningkatkan hasil perikanan sebanyak 10% menerusi pelbagai aktiviti perikanan akuakultur. Melalui Program Pengurusan Bersepadu dan Pembangunan Aktiviti Komuniti Perikanan pula, peruntukan sebanyak RM400,000.00 yang akan memberi manfaat kepada golongan nelayan darat, komuniti perikanan dengan menyediakan kursus-kursus bagi memantapkan pengurusan projek sosial perikanan kepada golongan nelayan.

Inisiatif 7 : Pembangunan Estet Kerang-Kerangan Negeri Johor.

Inisiatif ketujuh ialah Pembangunan Estet Kerang-Kerangan Negeri Johor. Estet kerang-kerangan merupakan nadi kepada sumber perikanan negeri Johor. Sehingga tahun 2022,

pengeluaran hasil kerang-kerangan adalah berjumlah 1,500 metrik tan (M/T). Manakala pada tahun 2023 pula, kerajaan negeri mensasarkan peningkatan pengeluaran kepada 1,691 metrik tan (M/T). Sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan bagi menyokong inisiatif ini.

STRATEGI 6 : PEMBANGUNAN KOPERASI Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi keenam pula, ialah Pembangunan Koperasi. Kerajaan negeri amat menggalakkan aktiviti ekonomi komuniti menerusi pembangunan koperasi. Koperasi terbukti mampu menjana pendapatan dan mengukuhkan ikatan sosial dalam komuniti. Justeru, kerajaan negeri memberi perhatian serius untuk pembangunan koperasi dengan peruntukan RM1.8 juta bagi menjayakan 3 inisiatif berikut:-

Inisiatif 1 :COOP Maju Johor.

Inisiatif pertama ialah COOP Maju Johor. Bagi penubuhan koperasi pelbagai usaha dijalankan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan. Berikutan itu, geran khas sejumlah RM1.5 juta diberikan bagi memastikan koperasi di Johor mempunyai tadbir urus yang baik dan mematuhi perundangan koperasi.

Inisiatif 2 : Groom Big Produk Koperasi.

Inisiatif kedua ialah Groom Big Produk Koperasi. Peruntukan RM200,000.00 disediakan bagi membantu membangunkan produk koperasi melalui penjenamaan pembungkusan, pelabelan dan pensijilan status halal sehingga berjaya menembusi pasaran global.

Inisiatif 3 : Anugerah Koperasi Terbaik.

Inisiatif ketiga pula, ialah Anugerah Koperasi Terbaik. Peningkatan kepada koperasi mampu meningkatkan imej dan keyakinan masyarakat untuk melibatkan diri secara aktif dalam perniagaan koperasi. Sehubungan itu, RM100,000.00 diperuntukkan bagi penganjuran Anugerah Koperasi Terbaik yang akan mengiktiraf 60 koperasi terbaik Johor.

Teras Ketiga : Jaringan Keselamatan Sosial.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya ke Teras Ketiga, izinkan saya minum seteguk air. Yang Berhormat Datuk Speaker, masyhur nama permata selatan, penuh kenangan kekal berseri, teras ketiga jaringan keselamatan, perkukuh kebajikan rakyat lestari.

Teras Ketiga ialah jaringan keselamatan sosial. Kerajaan negeri bertanggungjawab untuk terus menjaga dan membela golongan rentan dan semua yang memerlukan. Maka, pelbagai strategi dan inisiatif diwujudkan untuk menghakupayakan golongan yang terjejas dari segi ekonomi, kesihatan dan keperluan sosial, justeru bagi tujuan teras ini kerajaan negeri akan melaksanakan 4 strategi dan 19 inisiatif.

Strategi Pertama : Pembangunan Perumahan Rakyat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Strategi pertama, ialah Pembangunan Perumahan Rakyat. Memiliki sebuah rumah kediaman menjadi impian setiap Bangsa Johor. Sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi serta suara hati rakyat, pastinya penyediaan rumah kepada golongan B40 dan M40 menjadi tumpuan dan agenda utama kerajaan negeri pada hari ini. Justeru, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi mencapai strategi ini. Strategi pertama ialah penyediaan Rumah Mampu Milik Johor. Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor akan memastikan koordinasi yang lebih efisien dalam pembangunan perumahan mampu milik sebagaimana berikut :-

1. PKPJ melalui kerjasama strategik dengan pemaju-pemaju hartanah telah mensasarkan pembinaan 21,139 unit Rumah Mampu Milik Johor di seluruh negeri Johor dalam tempoh 5 tahun ini. (Dewan bertepuk). Untuk tahun 2023 sahaja sejumlah 1,967 unit dijangka siap yang melibatkan daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Kulai dan Tangkak.

2. RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan 216 Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di daerah Mersing melalui kerjasama PKPJ, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) dan Yayasan Sultan Ibrahim.

3. RM5 juta diperuntukkan bagi pembinaan 50 unit Rumah Kasih Johor untuk golongan miskin dan miskin tegar.

4. RM14 juta diperuntukkan bagi pembelian 2 projek perumahan secara en bloc melibatkan 216 unit rumah di bandar Kulai, di Bandar Putra Kulai dan 100 unit rumah di Taman Laman Indah Iskandar Puteri untuk Program Rumah Transit Bangsa Johor.

5. RM1.58 juta diperuntukkan bagi pembelian 30 unit rumah pangsapuri Aman Larkin 1 untuk ditawarkan secara Rent to Own kepada rakyat yang mempunyai masalah kewangan untuk memiliki rumah.

6. YPJ Holdings akan menyempurnakan pembangunan 300 unit Rumah Mampu Milik di bawah projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman YPJ Punggai, Pengerang.

Di samping memastikan sasaran bilangan rumah ini tercapai kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada penempatan kualiti rumah dengan menetapkan syarat standard QLassic sebagai garis panduan dan spesifikasi pembinaan rumah RMMJ. Penetapan QLassic ini adalah kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti berdasarkan Construction Industry Standard, dengan izin.

Inisiatif 2 : Pemberian Baucer RM1,000.00 RMMJ.

Inisiatif kedua ialah pemberian baucar RM1,000.00 RMMJ. Kerajaan negeri PKPJ memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan inisiatif pemberian baucar kepada pembeli Rumah Mampu Milik Johor. Baucar ini akan diberikan semasa pembeli mengambil kunci rumah yang sedia ada untuk diduduki.

Inisiatif 3 : Pengurusan Dan Penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) Dan Flat Awam.

Inisiatif ketiga dalam teras ini ialah Pengurusan Dan Penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan flat awam. Kesejahteraan hidup golongan berpendapatan rendah yang menghuni PPR dan flat awam akan terus mendapat pembelaan kerajaan negeri. Justeru, kerajaan negeri melalui PKPJ dan PBT akan memperuntukkan RM96.92 juta bagi pelaksanaan inisiatif berikut :

1. RM49.42 juta bagi membaik pulih pangsapuri dan flat awam melibatkan pangsapuri EDL, Seri Stulang, Bukit Saujana di Johor Bahru, Pangsapuri Kenari dan Jentayu di Kangkar Pulai serta Rumah Pangsa Pulai dan Pontian.

2. RM28.9 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan kecemasan di 13 PPR dan 7 RSK yang akan memberi manfaat kepada 67,400 orang penduduk.

3. RM10 juta bagi membaik pulih rumah PPR, RSK dan flat awam yang rosak dan terkesan akibat bencana.

4. RM8.6 juta diperuntukkan bagi membiayai kos pengurusan fasiliti di PPR Seri Iskandar, PPR Seri Stulang, PPR Desa Mutiara, PPR Kempas, PPR Melana 1 dan PPR Melana 2.

Inisiatif 4 : Program Bantuan Rumah (PBR).

Inisiatif seterusnya ialah Program Bantuan Rumah (PBR). Sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi PBR untuk pelaksanaan kerja baik pulih 160 unit rumah usang dan rosak yang didiami oleh golongan miskin dan tegar.

Inisiatif 5 : Sistem Perumahan Negeri Johor.

Inisiatif kelima ialah inisiatif Sistem Perumahan Negeri Johor. Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan visi mentransformasi perkhidmatan perumahan yang cekap, berkesan dan berkualiti. Sebagai permulaan, kerajaan negeri melalui PKPJ akan memperuntukkan RM3 juta bagi pembangunan sistem tersebut secara berfasa.

Inisiatif 6 : Ekspo Hartanah Johor.

Inisiatif keenam dalam strategi ini ialah Ekspo Hartanah Johor. PKPJ dengan peruntukan berjumlah RM2 juta akan menganjurkan beberapa siri Ekspo Hartanah Johor bagi memberi peluang kepada mereka yang berkelayakan untuk membeli Rumah Mampu Milik Johor dan hartanah lot bumiputera secara langsung daripada pemaju.

Strategi 2 : Kebajikan Rakyat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua dalam teras ini ialah Kebajikan Rakyat. Selaras dengan Agenda Maju Johor, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib yang di alami oleh golongan miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan semua golongan yang memerlukan dalam memenuhi agenda ini.

Semasa pandemik COVID-19, kerajaan negeri yang telah dipimpin oleh Datuk Seri Hasni pada masa ketika itu telah membelanjakan RM494.51 juta bagi Pakej Rangsangan Ekonomi 1.0, 2.0 dan 3.0. Selain itu, kerajaan negeri melalui Pakej Bantuan Kasih Bangsa Johor telah menyalurkan RM149.07 juta yang telah memberi manfaat kepada 3.69 juta orang penerima. (Dewan bertepuk). Malahan, keluarga DiRaja Johor juga turut menyumbang bagi meringankan beban rakyat Johor.

Untuk makluman semua sepanjang tempoh pandemik COVID-19, keluarga DiRaja Johor telah menyumbang sebanyak RM123 juta merangkumi pelbagai jenis bantuan yang telah membantu kehidupan seramai 1.6 juta Bangsa Johor. (Dewan bertepuk.) Patik mewakili bangsa Johor merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bersama Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor dan keluarga DiRaja Johor di atas segala kurniaan yang diberikan. Patik amat yakin segala kurniaan ini pastinya dapat meringankan beban Johor, golongan yang memerlukan. Sesungguhnya, Raja, pemimpin dan rakyat berpisah tiada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, justeru bagi melaksanakan strategi Kebajikan Rakyat ini empat inisiatif akan dilaksanakan untuk mencapai matlamat Bangsa Johor yang bahagia, sejahtera dan mampan.

Inisiatif 1 : Membasmi Kemiskinan.

Inisiatif pertama ialah membasmi kemiskinan. Agenda pembasmian kemiskinan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. Kerajaan negeri beriltizam untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui inisiatif-inisiatif berikut:

1. RM278 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu 66,000 orang penerima bantuan yang meliputi bantuan am negeri dan bantuan kerajaan persekutuan. (Dewan bertepuk.)

2. RM6 juta diperuntukkan oleh IRDA bagi program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan melalui pemberian peralatan perniagaan dan latihan dengan tujuan untuk menambah pendapatan ketua isi rumah sehingga berjaya keluar dari kelompok miskin tegar.

3. RM7.8 juta diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Johor bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan harian kepada 6,000 orang asnaf dan menyediakan bantuan pendidikan kepada 1,200 orang anak-anak asnaf.

4. RM1.2 juta diperuntukkan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, YPKDT bagi perlaksanaan Projek Komuniti Di Hati yang memanfaatkan 48,000 penerima.

5. RM2 juta diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi membina sebuah Pusat Sivik Larkin di Taman Larkin Perdana yang akan digunakan sebagai penempatan sementara golongan gelandangan.

Inisiatif 2 : Pengukuhan Institusi Keluarga Dan Pemerkasaan Wanita.

Inisiatif kedua pula ialah Pengukuhan Institusi Keluarga Dan Pemerkasaan Wanita. Pada masa kini, keluarga dan komuniti menghadapi pelbagai cabaran psikososial. Kerajaan negeri sentiasa mengambil peduli akan kesejahteraan keluarga dengan menawarkan pelbagai program dan aktiviti intervensi yang melibatkan wanita dan keluarga dengan memperuntukkan sebanyak RM4.94 juta sebagaimana berikut:

1. Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor. Kerajaan prihatin terhadap isu keselamatan sosial terutama yang melibatkan simpanan masa hadapan. Justeru, kerajaan negeri bersetuju mencarum RM60.00 setahun ke dalam akaun KWSP suri rumah yang berdaftar dalam sistem eKasih sebagai galakan simpanan, manakala kerajaan persekutuan menambah sebanyak RM480.00 setahun bagi setiap pencarum. Keseluruhan bantuan yang diterima ialah RM540.00. sebanyak RM771,000 diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 12,864 penerima daripada golongan suri rumah eKasih.

Speaker

Isteri pertama ke kedua ni?

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Tak salah saya hanya seorang. Datuk Speaker ada lebih dari satu ke?

Speaker

It’s never in my agenda, but always in my mind. (Dewan ketawa.)

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dah hilang dekat mana ni?

2. Yang Berhormat Datuk Speaker, RM1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awalan untuk Pembangunan Rumah Pesona Wanita sebagai pusat perlindungan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

3. RM1.5 juta bagi pelaksanaan Program Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat (I-BERKAT) yang merupakan bantuan khusus berkaitan kesihatan dan barangan keperluan khas bagi memastikan Keluarga Bangsa Johor terus disantuni dan kekal sihat.

4. RM900,000 diperuntukkan bagi Program Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar melibatkan 1,500 wanita dan keluarga dari golongan B40.

5. RM565,000 diperuntukkan untuk Program Galakan dan Pengiktirafan Pesona Johor bagi memperkasa pembangunan wanita agar lebih menarik, proaktif dan progresif.

6. RM200,000 bagi perlaksanaan Program Intervensi Keluarga dan Komuniti Mind-X untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi dan mental yang memberi manfaat kepada 5,000 orang di pelbagai peringkat usia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif seterusnya ialah ialah Potensi Anak Jauhar. Kanak-kanak adalah masa depan kelestarian Bangsa Johor. Pada peringkat awal kanak-kanak ini, perhatian dan didikan yang sempurna perlu diberikan kepada mereka agar dapat membesar sebagai Bangsa Johor yang progresif dan dinamik. Seiring dengan aspirasi Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda binti Bustamam supaya setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama, kerajaan negeri akan melaksanakan program-program berikut dengan peruntukan sebanyak RM4.18 juta. (Dewan bertepuk).

1. Child Support Team Johor dengan peruntukan sebanyak RM210,000.00 bagi mengadakan latihan kepada 300 orang yang mewakili pelbagai aktivis sosial.

2. Penubuhan Jauhar Childcare Centre (JCC) selepas projek rintis JCC Kota skandar kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah lagi JCC di Segamat dengan peruntukan sebanyak RM535,000.00.

3. Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata (KAP) dengan peruntukan sebanyak RM180,000.00 yang mensasarkan 200 pengasuh untuk diiktiraf sebagai pengasuh berdaftar oleh JKM.

4. Program Penafaran Bintang Pusat Jagaan Kanak-kanak dengan peruntukan sebanyak RM250,000.00.

5. Program Anak Angkat Makmur Johor. Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai anak-anak Johor yang kehilangan ibu bapa. Kerajaan negeri amat prihatin dengan masa depan anak-anak ini dan akan terus memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menyantuni 1,825 kanak-kanak, anak yatim piatu sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

Inisiatif 4 : Membela Orang Kurang Upaya (OKU).

Inisiatif keempat dalam strategi ini ialah Membela Orang Kurang Upaya (OKU). Kerajaan negeri sentiasa mengambil tanggungjawab menghakupayakan OKU agar kehidupan mereka lebih sejahtera. Sejumlah RM860,000.00 diperuntukkan bagi inisiatif ini. Justeru, antara inisiatif yang diambil adalah sebagaimana berikut:-

1. Disability Empowerment and Enhancement Programme dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00 untuk memberi peluang pekerjaan kepada 300 OKU dalam pelbagai sektor.

2. Kerja-kerja pembaikan pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf premis JKM termasuk Pusat Pemulihan Dan Komuniti (PDK) dengan peruntukan sebanyak RM560,000.00.

Strategi 3 : Kesejahteraan Orang Asli.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi ketiga dalam teras ini ialah kesejahteraan Orang Asli. Orang Asli adalah sebahagian daripada bangsa Johor. Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka dan sentiasa memberi seluruh komitmen dalam mempertahankan dan memelihara lingkungan semula jadi Orang Asli agar mereka dapat hidup dengan sejahtera dan makmur. Antara inisiatif yang diberi tumpuan pada tahun 2023 adalah seperti berikut :

Inisiatif 1 : Pembangunan Modal Insan Orang Asli.

Inisiatif pertama, Pembangunan Modal Insan Orang Asli. Kerajaan negeri memperuntukkan RM152,00.00 bagi pelaksanaan program yang dapat meningkatkan keupayaan Orang Asli untuk bersama membangunkan sosioekonomi negeri Johor.

Inisiatif 2 : Pembangunan Kampung Orang Asli Sejahtera.

Inisiatif kedua, Pembangunan Kampung Orang Asli Sejahtera. Inisiatif ini akan memperkasakan institusi kampung Orang Asli dengan cekap dan berkesan bagi memacu pembangunan mampan dan menjadi contoh kepada kampung Orang Asli yang lain. Sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek rintis di Kampung Orang Asli Puting, Segamat.

Strategi 4 : Mengeratkan Perpaduan Bangsa Johor.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi keempat ialah Mengeratkan Perpaduan Bangsa Johor. Kerajaan negeri telah merencana 7 inisiatif di bawah strategi ini:

Inisiatif 1 : Duta Perpaduan Johor.

Inisiatif pertama, Duta Perpaduan Johor. Kerajaan negeri percaya Duta Perpaduan Johor adalah antara inisiatif perpaduan yang penting dan mampu mengukuhkan nilai perpaduan sesama masyarakat pelbagai kaum. Peruntukan sebanyak RM500,000.00 akan disediakan agar program ini dapat memupuk dan menerapkan nilai perpaduan terhadap perbezaan agama, bangsa dan budaya di kalangan generasi muda.

Inisiatif 2 : Karnival Bangsa Johor.

Inisiatif kedua, Karnival Bangsa Johor. Kerajaan negeri juga optimis untuk menganjurkan Karnival Bangsa Johor yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi ukhuwah dalam kalangan bangsa Johor. Oleh itu kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000.00 bagi penganjuran tersebut.

Inisiatif 3 : Penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama.

Inisiatif ketiga, Penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama. Menyedari kepentingan untuk mengekalkan perpaduan di Johor, maka kerajaan negeri telah mempertimbangkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Pelbagai Agama di negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM50,000.00. Jawatankuasa ini akan menjadi platform perbincangan dan melaksanakan program yang bertujuan untuk mengharmonikan lagi perpaduan bangsa Johor.

Inisiatif 4 : Membekalkan Peralatan Baharu Kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS Active).

Inisiatif keempat, Membekalkan peralatan baharu kepada Skim Rondaan Sukarela (SRS) Aktif. Kerajaan negeri memperuntukkan RM180,000.00 bagi pembekalan peralatan baharu kepada 90 SRS yang bertujuan meningkatkan operasi secara bersepadu dalam komuniti di hot spot yang kerap berlaku jenayah. Sebagai tambahan RM50,000.00 diperuntukkan bagi meningkatkan kebolehupayaan ahli SRS dalam menangani jenayah dan bencana dalam kawasan kejiranan.

Inisiatif 5 : Program-Program Silang Budaya Bangsa Johor.

Inisiatif kelima pula ialah Program-program Silang Budaya Bangsa Johor. Negeri Johor dengan kaya dengan pelbagai tradisi yang perlu ditonjolkan. Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor serta Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan diperuntukkan RM350,000.00 untuk penganjuran aktiviti pertandingan Silang Budaya dan pertandingan video pendek perpaduan bangsa Johor.

Inisiatif 6 : Projek Akuaagro Rukun Tetangga.

Inisiatif keenam adalah Projek Aquaagro Rukun Tetangga. Usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti diteruskan dengan mengenal pasti Rukun Tetangga yang berpotensi untuk melaksanakan projek Aquaagro. Sebagai permulaan kerajaan negeri memperuntukkan RM230,000.00 bagi tujuan tersebut.

Inisiatif 7 : Kerohanian Dan Kebajikan Masyarakat Tionghoa, India dan lain-lain.

Yang terakhir, inisiatif ketujuh ialah Kerohanian Dan Kebajikan Masyarakat Tionghoa, India dan lain-lain. Demi kesejahteraan dan permuafakatan bangsa Johor, kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM12 juta untuk tujuan pembangunan kerohanian serta kebajikan masyarakat Tionghoa, India dan lain-lain. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika kehendak menyusun tujuan, bahawa hasrat jadi penyeri, titik sentuhan kemudahan dan keperluan, teguhkan aspirasi bangunkan negeri.

Teras 4 : Kemudahan Dan Keperluan Asas.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Teras keempat ialah Kemudahan Dan Keperluan Asas. Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur dan akses kemudahan asas seperti jalan, pengangkutan, komunikasi, bekalan air bersih serta bekalan elektrik. Justeru, bagi tujuan memperkasa kemudahan dan keperluan asas, kerajaan negeri akan melaksanakan empat strategi dan 13 inisiatif:

Strategi 1 : Penyelenggaraan Dan Naik Taraf Infrastruktur Awam.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Strategi pertama dalam teras kemudahan dan keperluan asas ialah penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur awam. Kerajaan negeri dan PBT akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik infrastruktur awam meliputi jalan raya, lampu jalan serta dewan serba guna.

Inisiatif 1 : Membina, Menaik taraf Dan Menyelenggara Kemudahan Jalan Dan Jambatan.

Inisiatif pertama dalam strategi ini ialah membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan jalan dan jambatan. Oleh itu projek yang akan dilaksanakan adalah sebagaimana berikut :

1. RM87.6 juta untuk membina dan menaik taraf jalan negeri, jalan kampung dan jambatan di seluruh negeri. (Dewan bertepuk). Antaranya termasuklah menaik taraf jalan dan Jambatan Sungai Mati ke Sawah Ring di Tangkak dan membina jalan pintas dari Jorak ke Paya Panjang di daerah Muar.

2. RM691.45 juta diperuntukkan melalui MARRIS dan peruntukan langsung daripada Pihak Berkuasa Tempatan akan digunakan bagi menyelenggara jalan, sistem perparitan, lampu dan juga perabot jalan.

Inisiatif 2 : Menaik Taraf Kemudahan Lampu Jalan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Inisiatif kedua ialah menaik taraf kemudahan lampu jalan. Kerajaan negeri juga terus komited dalam melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kemudahan lampu jalan dengan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi mengurangkan risiko kemalangan melalui projek-projek tersebut:

1. Menaik taraf lampu jalan di Jalan Tampoi, Jalan Tebrau, Pandan, Lebuh raya Persisiran Pantai Permas Jaya dengan peruntukan sebanyak RM12 juta oleh MBJB.

2. Pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan di pentadbiran MBIP dengan peruntukan sebanyak RM4.4 juta.

3. Pemasangan lampu-lampu jalan, lampu persimpangan dan lampu amber dengan penggunaan teknologi hijau yang merangkumi 21 km jalan-jalan negeri dengan kos sebanyak RM3.5 juta oleh JKR.

Inisiatif 3 : Membina Infrastruktur Awam Dan Kompleks Gerai Perniagaan.

Inisiatif ketiga ialah membina infrastruktur awam dan kompleks gerai perniagaan. Kerajaan negeri sentiasa memastikan infrastruktur awam seperti dewan serba guna, perpustakaan awam, kompleks gerai perniagaan dan kemudahan awam lain berada dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan masyarakat setempat. Justeru itu, sejumlah RM29.8 juta diperuntukkan bagi projek-projek tersebut:

1. Membaik pulih bangunan anjung selera, kompleks gerai perniagaan dan dewan masyarakat di kawasan pentadbiran MBJB dengan peruntukan sebanyak RM11.4 juta.

2. Menyelenggara dan membaik pulih Kompleks Penghulu, balai raya, dewan raya dan infrastruktur luar bandar dengan peruntukan RM9.2 juta oleh Pejabat-pejabat Daerah.

3. Menaik taraf Stadium Perbandaran Pasir Gudang dan membina Dataran Mahkota Pasir Gudang dengan kos berjumlah RM6 juta.

4. Membina Dewan serba guna Taman Tan Sri Yaacob dan gerai baharu di Jalan Pekaka, Taman Perling dengan kos RM2.9 juta.

5. Menaik taraf Perpustakaan Daerah Kota Tinggi serta menjalankan program-program bagi menarik minat orang ramai untuk menggunakan fasiliti tersebut dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00.

Inisiatif 4 : Penyelenggaraan Sekolah Agama, Masjid Dan Surau Serta Tanah Perkuburan Islam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif keempat pula ialah penyelenggaraan sekolah agama, masjid dan surau serta tanah perkuburan Islam. Sekolah Agama Kerajaan Johor merupakan sistem pendidikan agama yang unggul di Malaysia. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri memperuntukkan sejumlah RM9.4 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta peralatan dan perabot sekolah-sekolah agama di seluruh negeri Johor.

Seterusnya, bagi memastikan umat Islam di negeri ini dapat mengimarahkan masjid dan surau dalam keadaan yang selesa dan kondusif, sejumlah RM2.7 juta diperuntukkan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan masjid serta surau.

Di samping itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM2.3 juta bagi pembangunan dan penyelenggaraan tanah perkuburan Islam di negeri Johor.

Strategi : Pengangkutan Awam Johor.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua ialah Pengangkutan Awam Johor. Pengangkutan adalah nadi perhubungan bagi masyarakat di negeri ini. Sistem pengangkutan awam yang cekap dan sistematik amat penting bagi memudahkan pergerakan serta akses dan kelancaran logistik kepada rakyat dan juga pelabur.

Inisiatif 1 : Melancarkan Pergerakan Laluan Sempadan Johor Bahru – Singapura.

Inisiatif pertama ialah melancarkan pergerakan laluan sempadan Johor Bahru – Singapura. Tambak Johor merupakan antara laluan sempadan antarabangsa yang paling sibuk di dunia. Sejak pembukaan sempadan Johor Bahru – Singapura, purata harian keluar masuk di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah sebanyak 211,000 orang sehari.

Antara usaha yang telah dijalankan ialah penggabungan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), PLUS, JPJ di laluan kereta masuk di Bangunan Sultan Iskandar serta membuat reka bentuk semula laluan motosikal, laluan kereta dan laluan pintu keluar masuk BSI. Penambahan bilangan e-gate (pejalan kaki) untuk warganegara Malaysia daripada 14 kepada 32 unit bagi laluan masuk serta daripada 14 kepada 26 unit bagi laluan keluar. JIM juga akan memperluas penggunaan e-gate kepada warga asing. Usaha ini mampu mengurangkan kesesakan yang berlaku di BSI. Selain itu, kerajaan sedang mengkaji kesesuaian untuk membenarkan kenderaan ringan menggunakan laluan lori sebagai laluan alternatif semasa waktu kemuncak. Ini akan melibatkan pengubahsuaian kaunter untuk kemudahan pemandu kereta.

Inisiatif 2 : Penambahbaikan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor Dan Naik Taraf Terminal Larkin Sental.

Inisiatif kedua, penambahbaikan perkhidmatan bas Muafakat Johor dan naik taraf Terminal Larkin Sental. Kerajaan negeri prihatin dengan keadaan parkir yang terhad di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah. Oleh yang demikian, kerajaan negeri memperuntukkan RM550,000.00 bagi perkhidmatan shuttle bus secara percuma kepada pesakit, kakitangan dan pelawat HSA dan HSI. Pengguna bas yang ingin ke HSA boleh menaiki bas dari Terminal Larkin manakala pengguna bas yang ingin ke HSI boleh menaiki bas dari Lotus Supermarket Tebrau.

Perkhidmatan bas Muafakat Johor juga akan diteruskan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Bagi tahun 2023, RM28.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan BMJ di 72 laluan. Kerajaan negeri juga akan membuat penilaian semula laluan sedia ada dan mencadangkan laluan yang berkapasiti tinggi agar kemudahan ini digunakan oleh rakyat secara maksimum.

Selanjutnya, perkhidmatan bas Muafakat Johor juga akan dipanjangkan kepada pelancong asing. Oleh itu, sejumlah RM50,000.00 diperuntukkan bagi menaik taraf sistem sedia ada di laluan Bandaraya Johor Bahru, Pengerang, Muar dan juga Pontian.

Selain itu, Johor Corporation akan menaik taraf Terminal Larkin Sentral meliputi kemudahan parkir bertingkat dan ruang menunggu bas henti-henti dengan kos RM8.0 juta.

Inisiatif 3 : Penyuraian Trafik RTS Link.

Inisiatif ketiga pula ialah Penyuraian Trafik RTS Link. Projek Rapid Transit System (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura dijangka siap pada tahun 2026. Dengan anggaran kapasiti pengguna RTS berjumlah 150,000 orang sehari. Pergerakan kenderaan keluar masuk ke kawasan stesen RTS akan menjadi kritikal. Oleh itu, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA) akan melaksanakan projek penambahbaikan persimpangan bertingkat Lebuhraya EDL, Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Tebrau dengan peruntukan sebanyak RM371 juta. (Dewan bertepuk.)

Seterusnya, bagi memastikan projek Rapid Transit System, Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru dan Iskandar Rapid Transit siap mengikut jadual, Jawatankuasa Task Force Pengangkutan Awam Berimpak Tinggi Negeri Johor telah dibentuk. Jawatankuasa ini akan menyelaras isu-isu berbangkit untuk diselesaikan dengan kadar segera.

Strategi 3 : Infrastruktur Bekalan Air, Elektrik Dan Juga Telekomunikasi.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi ketiga dalam Teras Kemudahan Dan Keperluan Asas ialah Infrastruktur Bekalan Air, Elektrik dan juga Telekomunikasi. Akses dan ketersambungan rakyat dan pelabur kepada sistem bekalan utiliti ini adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah :

Inisiatif Pertama, Pemeliharaan Sumber Air Dan Bekalan Air.

Inisiatif pertama, pemeliharaan sumber air dan bekalan air. Pengurusan air di negeri Johor melibatkan sinergi, beberapa agensi berkepentingan seperti Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dalam pembangunan sumber air mentah dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. sebagai operator bekalan air negeri serta penglibatan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. dan Johor Special Water, anak syarikat Permodalan Darul Takzim dalam mengurus aset-aset milik kerajaan negeri serta bekalan air industri sedia ada.

Bagi menjamin bekalan air yang berterusan kepada rakyat, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan kepada BAKAJ bagi memastikan sumber air mencukupi dan kualiti air mentah terpelihara. Kerja-kerja pemantauan kualiti air secara berkala, menggunakan teknologi geospatial dan pemantauan atas talian akan diteruskan di Stesen Telemetri di sungai-sungai seperti Sungai Sayong, Sungai Semangar, Sungai Johor, Sungai Skudai, Sungai Benut dan Sungai Muar.

Seterusnya, bagi mengurangkan kadar kehilangan air akibat kebocoran dan kerosakan paip agihan atau Non-Revenue Water, Pengurusan Aset Air Berhad memperuntukkan sebanyak RM280 juta kepada Ranhill SAJ bagi menggantikan paip sepanjang 234 kilometer pada tahun 2023. Penggantian paip lama ini akan mengurangkan bilangan kebocoran air di samping dapat mempertingkatkan tekanan air dalam sistem paip pengagihan tersebut.

Inisiatif 2 : Jaminan Bekalan Elektrik Yang Stabil.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif kedua Jaminan Bekalan Elektrik Yang Stabil. Bagi mengurangkan masalah gangguan dan mempercepat tempoh pemulihan gangguan bekalan elektrik, TNB Johor memperuntukkan sebanyak RM58 juta bagi projek Rehabilitasi Sistem Bekalan Elektrik di Tampoi, Kulai, Mersing dan Pasir Gudang. Di samping itu, TNB bertanggungjawab melalui Program Sosial Korporat, menyediakan peruntukan berjumlah RM550,000.00 bagi memberikan rebat bil elektrik RM40.00 sebulan kepada 1,040 miskin tegar. TNB juga turut melaksanakan Program Pencahayaan Luar Bandar yang melibatkan 8 lokaliti luar bandar termasuk Felda Ulu Tebrau di Johor Bahru, Kampung Sungai Lurus Darat di Batu Pahat dan Parit Amal di Pontian.

Inisiatif 3: Jaringan Internet Dan Telekomunikasi.

Inisiatif ketiga dalam strategi ini, ialah Jaringan Internet Dan Telekomunikasi. Untuk meningkatkan liputan jalur mudah alih (4G) di kawasan berpenduduk, kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi meneruskan pelaksanaan Fasa 2 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Ini meliputi kerja-kerja seperti pembinaan menara telekomunikasi, menaik taraf stesen pemancar 4G sedia ada, penyediaan sambungan gentian optik dan kemudahan jalur lebar tanpa wayar.

Strategi 4 : Meningkatkan Tahap Kesihatan.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi keempat ialah Meningkatkan Tahap Kesihatan. Akses dan kemudahan fasiliti kesihatan antara agenda penting yang diberi keutamaan dalam Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia 2021-2025. Kerajaan berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan yang berkualiti, terutamanya dalam situasi pasca pandemik COVID-19. Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan terus memperkasa sistem kesihatan di Johor.

Inisiatif 1 : Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor.

Inisiatif pertama, dalam strategi ini adalah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor. Kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa yang berperanan untuk memantau semua fasiliti kesihatan sedia ada agar kemudahan-kemudahan kesihatan dalam negeri ini berada dalam keadaan yang baik dan kondusif. Jawatankuasa ini juga akan merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program kesihatan dengan menggalakkan kerjasama daripada pihak swasta melalui “Public-Private Partnership Program”.

Inisiatif 2 : Program Johor Bebas Denggi.

Inisiatif kedua, Program Johor Bebas Denggi. Peningkatan kes denggi dapat dihindari jika kawasan persekitaran rapi dan bersih. Persekitaran yang kotor dengan air bertakung serta sikap tidak peduli komuniti setempat terhadap kebersihan sekitar menjadi faktor utama pembiakan nyamuk aedes meningkat. Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi melaksanakan Program Johor Bebas Denggi.

Inisiatif 3 : Bangsa Johor Bebas Dadah.

Inisiatif ketiga pula ialah Bangsa Johor Bebas Dadah. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000.00 untuk pelaksanaan pelbagai program seperti Program Intelek Asuhan Rohani, Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHEILD), Program Tomorrow Leader dan Program Bebas Asap Rokok. Program ini mampu mendidik golongan anak muda untuk menjauhi wabak dadah dan tabiat merokok.

Selain itu RM100,000.00 juga akan diperuntukkan untuk menggerakkan gelombang sukarelawan skuad AADK dengan kerjasama komuniti bagi memberikan pendidikan pencegahan dan kesedaran awam mengenai bahaya dadah.

Teras Kelima : Keselamatan, Kebersihan Dan Kelestarian Alam Sekitar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, cerdik bangsa penuh santunan, suri teladan dalang gantian, teras kelima jadikan cerminan, demi keselamatan dan kelestarian.

Teras kelima ialah Keselamatan, Kebersihan Dan Kelestarian Alam Sekitar. Menerusi teras kelima ini, kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar di negeri ini sentiasa terpelihara demi keselesaan dan kesejahteraan hidup Bangsa Johor. Tiga strategi dan lapan inisiatif telah dirangka bagi memastikan matlamat tersebut dilaksanakan.

Strategi 1 : Mewujudkan Persekitaran Yang Selamat, Bersih, Indah Dan Ceria.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Strategi pertama ialah Mewujudkan Persekitaran Yang Selamat, Bersih, Indah Dan Ceria. Persekitaran yang lestari adalah sebahagian daripada ciri masyarakat yang maju dan bertamadun. Maka, beberapa inisiatif dirancang bagi mencapai hasrat tersebut sebagaimana berikut:

Inisiatif 1 : Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV).

Inisiatif pertama, Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV). Negeri Johor komited untuk menjadi destinasi pelancongan utama di negeri ini. Sehubungan itu, beberapa lokasi pelancongan yang selamat akan dipantau menerusi Projek Pemasangan Kamera Litar Tertutup dan penambahbaikan sistem pengcahayaan bagi memperkasa Agenda Greater JB. Justeru itu, Pihak Berkuasa Tempatan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM5.25 juta bagi projek pemasangan CCTV berteknologi Artificial Intelligence di kawasan hotspot jenayah dan kawasan tumpuan pelancongan.

Inisiatif 2 : Pengindahan Bandar.

Inisiatif kedua pula ialah Pengindahan Bandar. Kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah sebahagian daripada Agenda Maju Johor. Justeru, kerja-kerja pengindahan landskap bagi menceriakan bandar dan tempat pelancongan amat diperlukan. Sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini. Sehubungan dengan itu, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

1. RM2.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja landskap dan pembinaan seni arca di Iskandar Puteri.

2. RM2.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pengindahan di Kampung Sungai Melayu.

3. RM 3.5 juta bagi pengindahan Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Pesisir Pantai, Johor Baru.

4. RM11 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf, penyelenggaraan, pembersihan dan penjagaan landskap bagi taman-taman kanak-kanak dan rekreasi di kawasan pentadbiran MBJB.

5. RM6.5 juta untuk menaik taraf kemudahan asas menaik taraf kemudahan asas di sekitar kawasan Johor Bahru. Ia meliputi kerja-kerja naik taraf tapak perkhemahan

hutan bandar, kemudahan di Dataran Danga Bay, alatan permainan, alatan senaman, laluan basikal dan pejalan kaki.

6. RM9 juta bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan landskap di sekitar persisiran jalan di kawasan pentadbiran MBJB.

Inisiatif 3 : Kesejahteraan Luar Bandar.

Inisiatif ketiga ialah Kesejahteraan Luar Bandar. Bagi kawasan luar bandar yang berada di luar kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pengurusan sisa pepejal bertujuan mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar sekali gus meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup penduduk di luar bandar termasuk Kampung Orang Asli.

Inisiatif 4 : Program Sambutan Hari Landskap Negeri Johor.

Inisiatif terakhir dalam strategi ini, adalah Program Sambutan Hari Landskap Negeri Johor. Bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap amalan kebersihan dan memupuk minat terhadap landskap, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM400,000.00 bagi Program Sambutan Hari Landskap Negeri Johor. Program tahun ini akan menggalakkan pertukaran idea bagi seni reka bentuk terkini pembangunan landskap serta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awam tentang pentingnya mewujudkan persekitaran hidup yang bersih, indah, selesa dan selamat.

Strategi 2 : Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Sungai.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua dalam Teras Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar ialah Pemeliharaan dan Pemuliharaan Sungai. Justeru itu, beberapa inisiatif dijalankan oleh kerajaan negeri dalam usaha melestarikan sungai-sungai di negeri Johor.

Inisiatif 1 : Pembangunan Pemuliharaan Sungai.

Inisiatif pertama Pembangunan Pemuliharaan Sungai. Kerajaan negeri prihatin dalam memelihara dan memulihara sungai-sungai agar berada dalam keadaan yang bersih. Untuk tujuan tersebut sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, projek Denai Sungai dan perlaksanaan Program Satu Daerah Satu Sungai.

Pada tahun 2019, Sungai Kim-Kim telah mengalami pencemaran yang kritikal, justeru itu peruntukan sebanyak RM300,000.00 disediakan bagi meneruskan usaha-usaha pemuliharaan Sungai Kim-Kim agar ianya terus lestari dan mengelakkan insiden pencemaran ini berulang kembali.

Inisiatif 2 : Penyelenggaraan Sungai Dan Saliran.

Inisiatif kedua, penyelenggaraan sungai dan saliran. Saban tahun banjir telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan orang awam. Berdasarkan semakan dan data terkini daripada Jabatan Pengairan dan Saliran terdapat 432 hot spot banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negeri Johor.

Sehubungan dengan itu, sebanyak RM71 juta peruntukan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pihak Berkuasa Tempatan disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, kebersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

Seterusnya sebanyak RM42 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran. Di samping itu, RM700,000.00 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir. Saya rasa kawasan Yang Berhormat Datuk Speaker pun selalu dilanda banjir.

Speaker

Betul Yang Berhormat.

Strategi 3: Memperkasa Johor Lestari.

Speaker

Strategi ketiga dalam teras ini, adalah Memperkasa Johor Lestari. Usaha memperkasa kelestarian alam sekitar akan terus ditingkatkan bagi merealisasikan wawasan pembangunan yang seimbang. Justeru itu, strategi pembangunan Lestari Johor dijalankan melalui dua inisiatif.

Inisiatif 1 : Pemeliharaan Kawasan dan Sumber Hutan.

Inisiatif pertama ialah Pemeliharaan Kawasan dan Sumber Hutan. Pengurusan dan pemeliharaan sumber hutan akan terus diperkasakan melalui kerja-kerja penandaan dan penyelenggaraan sempadan hutan dengan peruntukan sebanyak RM1.15 juta.

Seterusnya, kerajaan negeri juga komited dalam memastikan perlindungan hidupan liar serta memastikan kawasan biodiversiti dipelihara. Untuk tujuan tersebut sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf kawasan Panti Conservation Area untuk tujuan konservasi, penyelidikan, pendidikan, ekopelancongan dan penglibatan komuniti.

Bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri, RM600,000.00 diperuntukkan bagi tahun 2023 untuk meneruskan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh 5 tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah Program Penghijauan Malaysia.

Inisiatif 2 : Agenda Rendah Karbon.

Inisiatif Kedua ialah Agenda Rendah Karbon. Dalam mendepani krisis perubahan iklim, Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon telah dihasilkan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). Pelan ini mensasarkan pengurangan 70 peratus pelepasan intensiti karbon menjelang 2030 di kawasan Iskandar Malaysia.

Kerajaan negeri percaya agenda ini sememangnya memerlukan penglibatan dan sokongan penuh khususnya masyarakat setempat. Melalui Program Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon yang telah dilaksanakan sejak tahun 2021, ianya telah memanfaatkan 45 projek setempat. Justeru Majlis Bandaraya Iskandar Puteri akan meneruskan program ini dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 pada tahun 2023.

Bagi menyokong inisiatif ini lagi, penggunaan kenderaan electric vehicle dalam bandar raya akan digalakkan dengan memperbanyakkan fasiliti stesyen pengecas bagi kenderaan elektrik khususnya di kawasan Greater Johor Bahru.

Melalui Kajian Pelan Induk Pembangunan Hijau Negeri Johor di bawah Program United Kingdom Partnering For Accelerated Climate Transitions, kerajaan negeri juga akan mengkaji dan memperhalusi potensi Johor di dalam industri pasaran karbon.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keris lama bersadur gangsa, hulu berukir kayu campuran, Orang Muda Johor tunjang bangsa, bingkas bertekad demi kemakmuran. (Dewan bertepuk).

Teras 6 : Orang Muda Johor.

Speaker

Teras keenam dan terakhir ialah Orang Muda Johor. Di bawah Agenda Maju Johor perhatian serius sentiasa diberikan kepada pembangunan belia atau Orang Muda Johor yang dinaungi oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Dalam memastikan masa depan generasi muda ini terus gemilang, 5 strategi dan 28 inisiatif telah dirangka agar pembangunan generasi ini dapat sentiasa memberi nilai tambah kepada kemajuan dan kejayaan negeri Johor.

Strategi 1 : Kepimpinan Belia Johor.

Speaker

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi pertama ialah Kepimpinan Belia Johor. Sebagai usaha untuk melahirkan pemimpin muda yang karakternya dalam acuan cara Johor, beberapa inisiatif akan dilaksanakan.

Inisiatif 1 : Medini Leadership

Pertama, Medini Leadership iaitu Institut Dato’ Onn (IDO) akan diberikan peranan baharu dan berfungsi dalam melaksanakan dan menjalankan sekolah kepimpinan untuk Orang Muda Johor iaitu tempat latihan yang secukupnya bagi melahirkan pemimpin bertaraf global dengan cara Johor. Tidak cukup dengan pelaksanaan sekolah kepimpinan sahaja, ianya harus selari dengan Modul Kepimpinan ataupun Medini Leadership yang bakal IDO keluarkan tidak lama lagi. Pengisian modul kepimpinan terdiri daripada modul polisi, komunikasi berkesan dan sosialisme. Kerajaan akan melaksanakan modul kepimpinan khas melalui kursus ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menggilap bakat kepimpinan Orang Muda Johor selama 5 ke 6 bulan. Seterusnya 10 hingga 20 orang akan dipilih untuk menerima tajaan kursus jangka pendek di universiti terkemuka luar negara selama satu hingga dua minggu.

Inisiatif 2 : Hikmah Johor - International Youth Conference.

Inisiatif kedua Hikmah Johor : International Youth Conference. Bagi menggalakkan perkongsian aspirasi kepimpinan dalam pelbagai bidang dan sektor kepakaran, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM350,000.00 untuk melaksanakan Inisiatif Hikmah Johor : International Youth Conference untuk menyertai persidangan-persidangan di peringkat antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin dari dalam dan juga luar negara.

Inisiatif 3 : Ruang Narasi.

Inisiatif ketiga Ruang Narasi. Dalam menggilap bakat Orang Muda Johor yang mampu mencetuskan idea dan buah fikiran kepada negeri, sebanyak RM100,000.00 akan diperuntukkan untuk inisiatif Ruang Narasi yang menjadi platform bagi membangunkan pemikiran kritis, meraikan idea yang kompetitif dan menjadi medan perdebatan untuk mengumpulkan usul daripada orang awam khususnya belia tentang isu semasa negeri Johor.

Inisiatif 4 : Program Duta Mahasiswa Johor.

Inisiatif keempat pula ialah Program Duta Mahasiswa Johor. Kerajaan negeri menyedari bahawa mahasiswa Johor bukan sahaja perlu cemerlang dari segi akademik malah mereka juga amat digalakkan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat melalui keusahawanan sosial. Sehubungan itu, inisiatif ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM400,000.00 daripada Yayasan Pelajaran Johor.

Inisiatif 5 : Persatuan Mahasiswa IPT Anak Johor.

Inisiatif kelima dalam strategi ini ialah Persatuan Mahasiswa IPT Anak Johor. Sebagai usaha menyokong kegiatan mahasiswa berpersatuan untuk melahirkan mahasiswa yang berketerampilan dan berkepimpinan tinggi, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan berbentuk insentif kepada Persatuan Mahasiswa IPT Anak Johor dengan peruntukan sejumlah RM700,000.00 yang memanfaatkan 27 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor di IPT seluruh tanah air, Mesir dan juga Jordan.

Inisiatif 6 : Dewan Muda Johor (DMJ).

Inisiatif keenam Strategik Kepimpinan Belia Johor ialah Dewan Muda Johor (DMJ). Bagi memperkasa peranan Orang Muda Johor sebagai pasukan pemikir anak-anak muda, menyediakan medium demokratik yang bersifat tersusun dalam menyalurkan kritikan, saranan serta ikhtiar semak dan imbang dalam pentadbiran negeri Johor dan Malaysia, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM200,000.00 untuk meneruskan inisiatif kepimpinan Dewan Muda Johor (DMJ) oleh Institut Dato’ Onn.

Inisiatif 7 : Johor Young CEO Talent.

Inisiatif ketujuh, Johor Young CEO Talent. Orang Muda Johor digalakkan membina jaringan (networking) yang boleh memperkukuhkan peranan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing. Justeru, RM100,000.00 akan diperuntukkan bagi Program Johor Young CEO Talent untuk profesional muda Johor. Inisiatif ini mendedahkan para peserta tentang kepentingan menguasai pemikiran kritis dan pelbagai kemahiran lain untuk menghasilkan CEO muda di kalangan Orang Muda Johor.

Strategi 2 : Sukan Dan Rekreasi.

Speaker

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kedua dalam Teras Orang Muda Johor ialah Sukan dan Rekreasi. Kerajaan negeri mahu memastikan agenda untuk menghasilkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa dari kalangan Orang Muda Johor diteruskan. Oleh yang demikian, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bagi mengekalkan penanda aras baharu di dalam memperkasakan atlet-atlet tempatan.

Inisiatif 1 : Strategi Sukan Dan Rekreasi Ialah Pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri.

Inisiatif pertama dalam Strategi Sukan dan Rekreasi ialah Pembangunan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri. TMIYC Iskandar Puteri dengan keluasan tapak 27 ekar yang akan dibangunkan oleh IRDA dengan kos RM37 juta ini akan menjadi hab aktiviti belia terutamanya dalam aspek seni dan budaya, kesukarelawanan, sukan dan keusahawanan. Kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula pada Januari 2023 dan akan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2024.

Inisiatif 2 : Program GRIT 2030.

Inisiatif kedua dalam strategi ini ialah Program GRIT 2030. Ia adalah program yang menjadikan negeri Johor sebuah Sport Powerhouse menjelang tahun tersebut. Pelaksanaan program GRIT meliputi pelan pembangunan jangka panjang kemenjadian atlet yang digubal bagi empat sukan teras melibatkan Long Term Coaching Development dan Long Term Athletic Development yang mempunyai banyak penawaran acara di peringkat tertinggi. Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta kepada Majlis Sukan Negeri Johor untuk meneruskan inisiatif ini.

Inisiatif 3 : Pemerkasaan Persatuan Sukan.

Inisiatif ketiga ialah Pemerkasaan Persatuan Sukan.

Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1 juta kepada MSNJ bagi melaksanakan penggredan persatuan-persatuan sukan di Johor untuk memperkasa persatuan sukan dari aspek pentadbiran, pembangunan atlet, keaktifan dan penyertaan dalam temasya di peringkat tertinggi.

Inisiatif 4 : Program Gold Johor.

Inisiatif keempat Program Gold Johor. Inisiatif keempat ialah Program Gold Johor. Kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada usaha melahirkan atlet pelapis negeri Johor yang kompetitif dan bersedia untuk membawa cabaran sukan di peringkat tertinggi. Sehubungan itu, peruntukan sebanyak RM2.3 juta disalurkan kepada MSNJ bagi pelaksanaan inisiatif ini.

Inisiatif 5 : Menaik taraf Infrastruktur dan Fasiliti Sukan.

Inisiatif kelima ialah Menaik taraf Infrastruktur dan Fasiliti Sukan. Bagi menjadikan Johor sebagai satu hotspot penggunaan fasiliti sukan kepada atlet dan orang awam, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih fasiliti-fasiliti sukan di bawah seliaan Perbadanan Stadium Johor.

Strategi 3 : Pendidikan Anak Muda Johor.

Speaker

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi ketiga ialah Pendidikan Anak Muda Johor. Bagi membantu Orang Muda Johor melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, menambah baik ekosistem dan platform pendidikan serta memperkasa warga pendidik, beberapa inisiatif akan dilaksanakan oleh pelbagai agensi.

Inisiatif 1 : Bantuan Pendidikan.

Inisiatif pertama dalam strategi ini ialah Bantuan Pendidikan. Kerajaan negeri akan memastikan bantuan-bantuan daripada pelbagai saluran bantuan pendidikan dapat dinikmati oleh semua pelajar melalui Jawatankuasa Khas Biasiswa dan Bantuan Pendidikan. Sebanyak RM16.5 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini (Dewan bertepuk). Antara inisiatif bantuan pendidikan yang akan diberikan;

1. Melaksanakan Kelas Bestari (smart classroom) yang akan menggalakkan penggunaan teknologi pendidikan terkini di 30 buah sekolah di negeri Johor dengan peruntukan RM750 000.00 oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

2. Meneruskan pemberian Biasiswa Kenangan Dato’ Onn kepada 1,000 orang pelajar sekolah menengah yang cemerlang dalam kalangan B40 dengan peruntukan sebanyak RM650,000.00.

3. Menyediakan Skim Pinjaman Pelajaran kepada pelajar daripada keluarga yang berpendapatan RM8,000.00 ke bawah melibatkan sejumlah RM13 juta untuk 1,600 orang pelajar.

4. Skim Bantuan Pendaftaran juga akan disediakan oleh YPJ kepada 2,000 pelajar baharu dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta. Inisiatif ini membantu pelajar agar tidak tercicir untuk mendaftar dan meneruskan pengajian di IPT bagi keluarga berpendapatan RM4,000.00 ke bawah.

5. Permodalan Darul Ta’zim juga akan meneruskan inisiatif Tabung Pendidikan Sarjana PDT dengan peruntukan RM150,000.00 bagi membantu 50 orang pelajar B40 yang kurang berkemampuan dengan insentif sebanyak RM3,000.00 seorang.

6. Yayasan Pelajaran Johor akan meneruskan Dana Didik Johor dengan peruntukan RM100,000.00. Inisiatif ini merupakan pemberian caruman RM100.00 bagi setiap kelahiran bayi di negeri Johor ke dalam akaun SSPN Prime bagi mereka yang berpendapatan RM7,000.00 ke bawah. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada seramai 1,000 orang bayi yang lahir pada tahun 2023.

Inisiatif 2 : Pembangunan Murid.

Inisiatif kedua ialah Pembangunan Murid. Bagi membentuk modal insan, jati diri dan keperibadian murid, sebanyak RM2.64 juta akan diperuntukkan (Dewan bertepuk). Antara inisiatif yang akan diperkenalkan adalah seperti berikut:

1. Sebanyak RM450,000.00 diperuntukkan bagi Johor Next Generation yang bertujuan memberi peluang kedua untuk mendapatkan sijil SPM dan peluang pekerjaan melalui program latihan yang akan diberikan.

2. Sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan kecemerlangan calon-calon SPM melalui bengkel-bengkel di bawah Program SPM STAR.

3. Sebanyak RM648,000.00 diperuntukkan bagi membiayai penyertaan murid daripada kalangan B40 dalam Program Tuisyen SPM YPJ.

4. Sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan bagi Program Sekolah Aspirasi. Sekolah ini bertujuan mewujudkan sekolah yang menerapkan identiti negeri Johor berdasarkan 4 aspek, kepimpinan, kualiti murid, kualiti guru dan persekitaran pembelajaran.

5. Sebanyak RM50,000.00 akan disalurkan bagi menghargai murid-murid yang cemerlang melalui Insentif Tokoh Murid di seluruh negeri Johor.

6. Sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif Rubrik Naratif Johor yang menjadi platform pendedahan kepada murid-murid sekolah tingkatan lima dan enam di Johor tentang sejarah dan pencapaian negeri Johor melalui Institut Dato’ Onn dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

7. Ketujuh, sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan bagi Kem Pembangunan Murid dan Karnival Hal Ehwal Murid yang melibatkan 3,200 orang murid.

Inisiatif 3 : Program Bacaan Lab (Literasi Alaf Baru).

Inisiatif ketiga ialah Program Bacaan Lab (Literasi Alaf Baru). Kerajaan negeri memperuntukkan RM345,000.00 bagi Program Bacaan LAB. Program intensif oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan kerjasama Educity dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor ini akan dijalankan bagi membantu murid-murid pasca pandemik yang banyak ketinggalan khususnya dalam kemahiran membaca yang semestinya akan diperlukan apabila sudah memasuki alam persekolahan.

Inisiatif 4 : Pembangunan Guru.

Inisiatif keempat ialah Pembangunan Guru. Dalam meningkatkan tahap kompetensi dan pembangunan guru-guru di Johor, Program English Teacher Proficiency akan dilaksanakan

dengan pembiayaan sebanyak RM200,000.00 kepada guru-guru Bahasa Inggeris dengan kerjasama antara YPJ, Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Educity.

Inisiatif 5 : Program Youngsters Coding.

Inisiatif seterusnya ialah Program Youngsters Coding. Bagi terus menyuburkan minat para pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000.00 untuk menjalankan Program Youngsters Coding. Program ini secara tidak langsung dapat mencungkil bakat pelajar dalam bidang pengaturcaraan dan robotik dengan penyediaan platform di sekolah-sekolah terpilih.

Inisiatif 6 : Program Young Dronengineers.

Inisiatif keenam dalam Strategi Pendidikan Orang Muda ialah Program Young Dronengineers. Melihat kepada emerging industry yang memerlukan keupayaan mengawal dron, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000.00 bagi memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah menengah untuk mempelajari asas dron.

Inisiatif 7 : Kolej Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor.

Inisiatif ketujuh dalam strategi ini ialah menaik taraf Kolej Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor. Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menaik taraf Kolej Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor kepada status Kolej Universiti menjelang tahun 2027. Justeru itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada KPYPJ bagi menjalankan usaha ke arah tersebut melalui dua pendekatan.

1. RM1 juta diperuntukkan untuk aktiviti pembangunan pelajar dan Program Upskilling Pensyarah.

2. RM1 juta untuk Biasiswa Bangsa Johor yang akan memberi manfaat kepada 40 mahasiswa KPYPJ yang layak.

Strategi 4 : Memperkasa Semangat Kesukarelawanan.

Speaker

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi keempat dalam Teras Orang Muda Johor ialah Memperkasa Semangat Kesukarelawanan. Dalam memupuk permuafakatan dan khidmat bakti, semangat kesukarelawanan perlu diterapkan ke dalam jiwa generasi Orang Muda Johor. Oleh itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan peranan dan penyertaan mereka dari semasa ke semasa dengan sasaran 200,000 sukarelawan menjelang tahun 2027.

Inisiatif 1 : Youth Engagement.

Inisiatif pertama, Youth Engagement. Bagi merapatkan jurang antara kerajaan negeri dengan masyarakat setempat, inisiatif Youth Engagement akan dilaksanakan untuk meningkatkan jalinan kerjasama antara Institut Dato’ Onn dan Orang Muda Johor melalui aktiviti khidmat masyarakat, jalinan komuniti, kesukarelawanan, rekreasi dan sukan dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00.

Inisiatif 2 : Southern Volunteers Prihatin.

Inisiatif kedua ialah Southern Volunteers Prihatin. Sebagai usaha melibatkan SV di dalam program bersama ADUN, kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif Southern Volunteers Prihatin untuk membantu membaiki atau dekorasi rumah asnaf di setiap 56 kawasan DUN Johor dengan peruntukan RM500,000.00.

Inisiatif 3 : Skuad Muda Southern Volunteers.

Inisiatif ketiga pula ialah Skuad Muda Southern Volunteers. Bagi memperluas aktiviti kesukarelawan di peringkat sekolah, inisiatif Skuad Muda Southern Volunteers akan dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00 dimulakan dengan sebuah sekolah di setiap 56 kawasan DUN di Johor.

Inisiatif 4 : Disaster Response Training.

Inisiatif keempat dalam strategi Memperkasa Semangat Kesukarelawanan ialah Disaster Response Training. Dalam meningkatkan kemahiran dan kompetensi sukarelawan SV agar sentiasa bersiap siaga untuk berkhidmat terutamanya menghadapi bencana alam, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi inisiatif Disaster Response Training dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Strategi 5 : Pemerkasaan Pendidikan Dan Syiar Islam.

Speaker

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi kelima ialah Pemerkasaan Pendidikan dan Syiar Islam. Pemerkasaan syiar Islam melalui peranan orang muda akan diperhebat oleh kerajaan negeri berdasarkan beberapa inisiatif.

Inisiatif 1 : Pemodenan Pengimarahan Masjid.

Inisiatif pertama di bawah strategi ini ialah Pemodenan Pengimarahan Masjid. Seiring dengan perkembangan teknologi, MAIJ akan menyediakan kemudahan jaringan internet di 800 buah masjid dan surau bagi tempoh 5 tahun (Dewan bertepuk). Sebagai permulaan RM460,000.00 diperuntukkan oleh MAIJ bagi pemasangan Wi-Fi di 160 buah masjid dan surau. Inisiatif ini dapat memberikan manfaat kepada para jemaah termasuklah Orang Muda Johor untuk mendapat akses internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan. Aktiviti mereka semua ini akan dipantau.

Inisiatif 2 : Khatam Al-Quran.

Inisiatif kedua ialah Khatam al-Quran. Kerajaan negeri ingin menggalakkan lebih ramai anak Johor khatam Al-Quran pada peringkat umur sekolah rendah. Bagi mengiktiraf peranan guru Al-Quran, MAIJ akan menaikkan elaun bulanan Guru al-Quran Khas sebanyak RM50.00 daripada RM500.00 ke RM550.00 (Dewan bertepuk), manakala Guru Al-Quran Am daripada RM300.00 kepada RM350.00 (Dewan bertepuk). Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.039 juta yang memanfaatkan 1,733 Guru al-Quran.

Inisiatif 3 : Program Pentauliahan Imam Muda.

Inisiatif ketiga pula ialah Program Pentauliahan Imam Muda. Program ini akan dilaksanakan dengan sasaran untuk melahirkan 500 Imam Muda pada tahun 2023 yang berkualiti dan profesional melalui peruntukan berjumlah RM250,000.00 daripada Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

Inisiatif 4 : Huffaz Bangsa Johor.

Inisiatif keempat di bawah strategi ini, ialah Huffaz Bangsa Johor. Negeri Johor akan melahirkan lebih ramai huffaz dari pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada golongan profesional. Pada tahun 2023, kerajaan negeri mensasarkan 1,200 huffaz yang dihasilkan daripada MARSAH dan madrasah swasta. Untuk tujuan tersebut, MAINJ memperuntukkan RM1.3 juta bagi menampung kos pengajian 200 orang bakal huffaz di MARSAH.

Inisiatif 5 : Program Intervensi Tahfiz.

Inisiatif kelima di bawah strategi ini ialah Program Intervensi Tahfiz. Sebagai tambahan kepada dana daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, kerajaan negeri melalui Perbadanan Islam Johor memperuntukkan RM75,000.00 yang mensasarkan 45 orang pelajar tahfiz untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan izinkan saya minum seteguk air lagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi para yang terakhir saya sebut bukan 45 tetapi 450 orang pelajar tahfiz. Saya tidak pernah berucap panjang macam ini Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri amat prihatin dengan kebajikan penjawat awam di dalam memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Ini termasuklah menyediakan kemudahan pinjaman perumahan yang lebih fleksibel dan tidak membebankan. Sehubungan dengan itu, dalam meneruskan kesinambungan kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri Johor, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menambah baik struktur pengurusan pinjaman perumahan. Kerajaan negeri akan melaksanakan penyerahan permohonan baharu di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri Johor kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkuat kuasa pada Januari 2023. Selain dapat meringankan beban kewangan kerajaan negeri, ia juga akan memberi lebih ramai peminjam dengan had kelayakan pinjaman yang lebih tinggi dan tempoh maksimum pinjaman sehingga 35 tahun. Selain itu, kerajaan negeri akan mengekalkan pinjaman tanpa faedah sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak 1 Mac 2014. (Dewan Bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan. Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Tahun 2022 kepada kakitangan kerajaan negeri Johor dan kakitangan awam persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri Johor sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000.00 yang akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada akhir bulan ini dan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2023. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara ini boleh kita timbal balik Insya-Allah, kalau pendapatan negeri bertambah dan sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri Johor. Bantuan Khas Kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru KAFA, petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ). Mudah-mudahan, sumbangan ini dapat memberi motivasi dalam kalangan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kalam, negeri Johor semakin tersohor, rakyat hidup rukun bermuafakat, enam teras Maju Johor, moga Makmur Bersama Rakyat. Demikianlah pembentangan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2023 yang bertemakan “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memberikan yang terbaik untuk negeri Johor. Kakitangan kerajaan negeri, swasta, para profesional, ahli agama, pakar ekonomi, warga pendidik, golongan wanita, pengamal media, Orang Muda Johor, mereka yang berada di bandar mahupun di desa, serta seluruh Bangsa Johor, terima kasih saya ucapkan. (Dewan Bertepuk). Saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama menanam

tekad untuk terus memberikan yang terbaik bagi menjayakan segala agenda dan perancangan ini. Insya-Allah, dengan kesungguhan ini akan membuahkan hasil yang baik untuk negeri Johor yang kita semua cintai ini. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon juga membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) dan (4) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Peraturan Tetap 112(2) dan (4) ditangguhkan sementara.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah selesai sudah ucapan Belanjawan Negeri Johor 2023 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan tema, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”. Tahniah Yang Amat Berhormat Datuk. Ahli-Ahli Yang Berhormat mari kita bangkit bersama memajukan Johor. Mari kita melakukan quantum leap dengan izin ataupun lompatan kijang. Lompatan kijang lebih jauh, lariannya lebih laju dan landing dengan tepat. Jangan lakukan lompatan katak, sudahlah perlahan, lompatannya pendek dan landing tidak tentu arah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum itu, saya dan Dewan ini ingin mengalukan kehadiran empat orang daripada ADUN Pemanis, dan satu orang daripada ADUN Sungai Balang, diucapkan selamat datang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari Ahad, 4 Disember 2022, jam 9:30 pagi, di mana Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Kedua, Enakmen Perbekalan 2023 Tahun 2022 akan dimulakan.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12.15 tengah hari.