Johor · 4 December 2022

1st session, 4th meeting · 139 turns · 33,943 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan Yang Berbahagia Datuk Haji Mohd Ismail bin Mohd Shah, bekas Ahli Dewan Negeri kawasan Parit Bakar mulai 29 November 1999 hingga 4 Mac 2004 dan kawasan Maharani 21 Mac 2004 hingga 13 Februari 2008, telah kembali ke rahmatullah pada 25 Oktober 2022. Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Haji Mohd Ismail bin Mohd Shah. Marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bagi orang-orang Islam membaca Al-Fatihah dan bukan Islam berdiri bertafakur selama 1 minit. Al-Fatihah (dibaca). Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berbahagian, Yang Berhormat Sungai Balang, dijemput.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1. Terima kasih.

Terdapat bangunan TABIKA KEMAS yang telah uzur tetapi masih memiliki status tanah yang tidak jelas, usaha baikpulih bangunan adalah kritikal terutamanya demi keselamatan anak-anak penuntut di pusat ini. Sehubungan itu, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani isu tersebut?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, selamat pagi dan salam maju Johor.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada ADUN Sungai Balang. Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor mempunyai 848 buah bangunan atau institusi TABIKA yang terdiri daripada 1,153 kelas TABIKA dan 58 kelas TASKA. Daripada jumlah 1,153 tersebut, 374 kelas beroperasi di bangunan sendiri, 72 buah kelas menyewa manakala 200 kelas beroperasi di bangunan milik agensi kerajaan. Selebihnya sebanyak 507 buah menumpang di pelbagai jenis premis seperti balai raya, surau milik persendirian dan lain-lain. TABIKA dan TASKA Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) beroperasi atas dasar memenuhi permintaan masyarakat sebagai agensi kerajaan, KEMAS tidak mempunyai kepentingan untuk menjana ekonomi daripada usaha tersebut. Melainkan memberi kemudahan pendidikan kepada masyarakat khususnya bagi yang kurang berkemampuan.

Berkenaan status tanah yang tidak jelas kebanyakan kelas tersebut merupakan kelas yang menumpang di pelbagai jenis premis yang telah dinyatakan. Permintaan yang sangat tinggi untuk, permintaan yang sangat tinggi untuk membuka kelas TABIKA ini menyebabkan pihak kerajaan melalui KEMAS telah berusaha memenuhi keperluan tersebut termasuk menyewa premis-premis yang bersesuaian.

Pihak KEMAS amat mengambil berat soal keselamatan premis terutama yang melibatkan kanak-kanak TASKA dan TABIKA. Sepanjang tahun 2022, KEMAS Negeri Johor telah melaksanakan baik pulih sebanyak 50 buah TABIKA dengan nilai peruntukan baik pulih berjumlah RM1,411,841.00 dan bina baru 2 buah TABIKA dengan nilai RM660,283.00. Walau bagaimanapun, jumlah peruntukan tersebut belum mampu menampung keperluan baik pulih dan bina baru TABIKA dan TASKA di seluruh negeri Johor, kerana setiap tahun akan ada bangunan-bangunan atau kelas-kelas ini yang perlukan penambahbaikan. Justeru pada tahun 2023, pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan, pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Johor telah bercadang untuk melaksanakan baik pulih sebanyak 93 buah lagi premis TABIKA dengan nilai anggaran peruntukan sebanyak RM5.3 juta.

Antara cadangannya ialah seperti berikut: Segamat, 4 buah premis; 3 di Tangkak, 17 di Muar, 18 di Batu Pahat, 10 di Kluang, 4 di Mersing, 8 daerah Kota Tinggi, 14 di Johor Bahru, 9 daerah Kulai dan 6 di Pontian dengan jumlah 93 buah melibatkan RM5.3 juta. Permohonan tersebut telah diangkat ke Ibu Pejabat KEMAS pada Oktober 2022 dan kami berharap usaha ini mampu menambah baik bangunan-bangunan TABIKA KEMAS sedia ada. Terima kasih.

Speaker

Ada soalan tambahan? Kemelah, sila Kemelah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk soalan tambahan saya, apakah status dan tindakan KEMAS berkaitan Sekolah TABIKA Bandar Putra, DUN Kemelah yang terbakar beberapa bulan yang lalu, terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kemelah. Untuk makluman Yang Berhormat Kemelah, Sekolah TABIKA Bandar Putra di kawasan Kemelah yang terbakar beberapa bulan lalu adalah TABIKA yang menumpang di tanah milik UMNO Bahagian Kemelah.

Untuk makluman Ahli Dewan, bangunan TABIKA yang terbakar itu ialah kelas TABIKA A dan TABIKA B, melibatkan 48 orang pelajar. Dan status terkini proses baik pulih dan bina baru tidak dapat dijalankan atas faktor tanah milik persendirian. Justeru, kerajaan melalui KEMAS telah cuba untuk mendapatkan hak milik tanah KEMAS persendirian dan status yang diperolehi daripada Pejabat Tanah Segamat ialah status tersebut selesai pada tahun 2025, insya-Allah selepas tanah ini selesai, binaan baru TABIKA A dan B akan kita perhalusi.

Dan, untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan Ahli Dewan, sebelum ini TABIKA ini menduduki tanah milik persendirian secara percuma tetapi selepas terbakar maka bangunan atau TABIKA ini telah menyewa di Balai Islam berdekatan dengan kawasan tersebut dengan nilai RM200.00 sebulan. Terima kasih.

Speaker

Sungai Balang, sila.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan. Apakah perancangan kerajaan bagi menaik taraf bangunan-bangunan TABIKA KEMAS pada tahun hadapan dan salah satu program dalam konteks pembangunan awal kanak-kanak KEMAS sebelum ini ialah pelaksanaan IQRA’ dan Fardu Ain, apakah program ini akan diteruskan pada tahun hadapan? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti jawapan awal saya tadi bahawa perancangan kerajaan dan TABIKA KEMAS untuk tahun hadapan ialah kita telah pun

menghantar sejumlah 93 buah premis TABIKA KEMAS dengan anggaran RM5.3 juta untuk penambahbaikan di tahun hadapan dan untuk menjawab soalan Sungai Balang berkenaan dengan Iqra’, Iqfa.

Untuk makluman Ahli Dewan, Iqfa ialah satu program yang dijalankan oleh KEMAS, oleh kerajaan negeri melalui KEMAS gabungan daripada Program Iqra’ dan Fardu Ain, ia dijalankan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun berkaitan dengan ilmu asas Fardu Ain dan asas al-Quran.

Dan untuk makluman Ahli Dewan juga, program ini akan diteruskan untuk tahun akan datang. Untuk makluman Ahli Dewan, program ini adalah telah dijalankan oleh KEMAS sejak sekian lama cuma terberhenti pada tahun 2019 dan 2020 tetapi telah dijalankan semula oleh kerajaan negeri di bawah Datuk Hasni Mohamad yang dijalankan semula pada tahun 2021 dan 2022. Dan insya-Allah, kerajaan akan terus menjalankan program ini pada tahun 2023. Dan untuk makluman juga, program ini melibatkan 300 buah kelas, yang melibatkan lebih 6,000 orang pelajar dan 300 buah kelas ini adalah meliputi 25% daripada 1,191 buah kelas TABIKA seluruh negeri Johor dan TABIKA mensasarkan jumlah 22.63% atau 6,000 orang daripada 24,300 pelajar seluruh negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Kukup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, burung kelicap, burung tempua, soalan Kukup nombor 2.

Apakah perancangan kerajaan negeri untuk menambah dan membina rumah mampu milik di Johor khususnya di DUN Kukup untuk generasi kedua?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Minta nyatakan bilakah kerajaan negeri akan memulakan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di DUN Parit Yaani?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

Bilakah projek pembinaan rumah mampu milik dapat dilaksanakan di kawasan Jementah dan Segamat?

Speaker

Silakan Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon untuk jawab bersekali soalan A97, ADUN Kukup; A13, ADUN Parit Yaani dan A51, ADUN Jementah kerana soalan YB-YB adalah berkaitan dan berkenaan dengan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor di kawasan masing-masing.

Memiliki sebuah rumah kediaman menjadi impian setiap bangsa Johor. Sebagai kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan suara hati rakyat pastinya menyediakan rumah kepada golongan B40 dan M40 menjadi agenda utama kerajaan pada hari ini.

Untuk maklumat Yang Berhormat-Yang Berhormat, berdasarkan rekod Task Force Perumahan Johor pada tahun 2014 hingga 2021, yakni tahun lepas selama 8 tahun sebanyak 28,241 unit rumah mampu milik telah siap dibina manakala sehingga September 2022, tahun ini sebanyak 2,578 unit telah siap dibina melebihi KPI yang ditetapkan sebelum ini iaitu 2,459. Dan dijangka 635 unit lagi akan siap sehingga hujung tahun ini dan awal tahun hadapan.

Berikut adalah pecahan bagi rumah mampu milik di daerah Pontian, daerah Batu Pahat dan daerah Segamat. Untuk daerah Pontian dalam perancangan tahun 2022 sehingga 2025, mengikut daerah Pontian, 345 unit, ada di pertama di Taman Rimba Indah, 86, kedua Taman Pontian Perdana dan lain-lain taman. Keseluruhan 345 unit. Dan di dalam DUN Kukup sahaja ada 204 unit iaitu Taman Rimba Indah 86, Taman Pontian Perdana 88 dan lain-lain 30 unit.

Dan untuk daerah Batu Pahat pula, dalam perancangan 2022 dan 2025, 967 unit dan dalam DUN Parit Yaani sahaja daripada 967 unit itu ada 120 unit iaitu di Taman Putra Indah. Dan untuk daerah Segamat, dalam perancangan tahun 2022 dan 2025, 310 unit. Dan untuk di dalam DUN Jementah setakat ini tiada. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya selain daripada rumah mampu milik yang dicadangkan oleh kerajaan negeri untuk dibina, adakah kerajaan negeri bercadang untuk mengambil alih bagi membina semula bagi projek-projek perumahan yang gagal disiapkan sebagai usaha untuk memastikan setiap keluarga di Johor memiliki rumah. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih YB Kukup.

Untuk makluman Datuk Speaker, mengikut rekod yang ada ketika ini di laman web KPKT, lebih kurang ada 17 projek sakit di Johor ini, 17. Dan ada 7 projek terbengkalai di dalam Johor. Projek sakit ini dikategorikan sakit bila selama 3 bulan tidak ada pergerakan atau tidak ada pembangunan di kawasan tersebut. Dan dikategorikan projek terbengkalai ini ialah selepas 6 bulan maksudnya tidak ada aktiviti pembangunan.

Isu projek sakit dan projek terbengkalai ini untuk makluman Yang Berhormat Datuk, bukan di dalam bidang kuasa kerajaan negeri fasal yang memutuskan projek itu sakit dan terbengkalai ialah di peringkat kerajaan, di peringkat Pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri insya-Allah akan jadi mediator untuk membantu projek-projek sakit ini. Dan ada beberapa projek sakit yang kita sedang selesaikan contohnya di Residency Kota Tinggi di bawah projek Prima. Terima kasih.

Speaker

Ya saya jemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor 5.

Sila nyatakan keadaan terkini kawasan Air Terjun Gunung Ledang selepas pengambilalihan sejak Jun 2022.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Air Terjun Gunung Ledang merupakan kawasan ekopelancongan yang terletak di Pekan Sagil, Tangkak dan ianya mempunyai tarikan alam semula jadi yang sangat terkenal di seluruh Malaysia. Kawasan yang berkeluasan 10 hektar ini menjadi kawasan rekreasi orang ramai untuk bermandi-manda selain menyediakan kawasan untuk aktiviti riadah bersama keluarga.

Melalui penetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bertarikh 19 Ogos 2015, telah bersetuju bahawa kawasan Air Terjun Gunung Ledang diambil oleh Perbadanan Taman Negara Johor sebagai menyokong Pelan Induk Negeri Johor 2014-2023. Lanjutan daripada itu, melalui MMK Johor bertarikh 11 September 2019 juga telah bersetuju di mana penyerahan kawasan Air Terjun Gunung Ledang adalah melalui kaedah pajakan dan perizaban bagi memastikan Perbadanan Taman Negara Johor dapat mengambil alih dan menguruskan dengan baik.

Dengan berkuat kuasanya notis milikan kosong pada 1 April 2022, pihak operator telah bersetuju untuk menyerahkan keseluruhan kawasan Air Terjun Gunung Ledang dan kepada Perbadanan Taman Negara Johor. Tempoh lanjutan pengosongan premis telah diberikan kepada pihak operator bagi memastikan prosedur pengambilalihan dan pengosongan premis berjalan dengan lancar.

Susulan daripada pengambilalihan itu, kawasan rekreasi Air Terjun Gunung Ledang telah ditutup kepada pengunjung mulai 1 Jun 2022 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan kawasan air terjun termasuk pembaikan kemudahan infrastruktur, pengosongan premis berjaya dilaksanakan.

Tambahan lagi Perbadanan Taman Negara Johor juga telah memajukan permohonan untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri melalui rancangan Johor 5 Tahun sebanyak RM5.5 juta bagi tujuan pembangunan kawasan Air Terjun Gunung Ledang untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.

Pihak Perbadanan Taman Negara Johor akan berusaha untuk membuka semula kawasan Air Terjun Gunung Ledang pada masa yang terdekat tetapi setelah kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih.

Speaker

Sila Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberi.

Sebab Air Terjun Gunung Ledang ini merupakan satu tempat tarikan pelancongan yang paling hebat dan paling terkenal di daerah Ledang dan juga untuk apa tu, aktiviti-aktiviti susulan pelancongan di bandar Tangkak juga. Jadi, selepas ditutup pada 1 Jun 2022, bukan sahaja pengusaha resort di Taman Gunung Ledang dihentikan, dikosongkan, air terjun ditutup tapi juga terdapat banyak peniaga, gerai-gerai di sekitar pintu masuk Gunung Ledang tersebut juga terjejas kerana pengunjung tidak dibenarkan masuk. Jadi, adakah Kerajaan Negeri ataupun Perbadanan Taman Negara Johor ada pampasan atau apa tindakan/bantuan yang akan diberi kepada pengusaha-pengusaha gerai-gerai terutama gerai-gerai kecil tersebut dan adakah Perbadanan Taman Negara Johor ada satu tarikh bilakah kerja-kerja naik taraf dan apa tu, penaiktarafan infrastruktur akan di siap dan bilakah akan dibuka semula. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Tangkak pernah jumpa Puteri Gunung Ledang?

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Belum sempat lagi Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Saya dah pernah jumpa Yang Berhormat sebab nama dia memang Puteri Gunung Ledang (ketawa), Orang Asli. Sila Yang Berhormat.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Terima kasih YB Tangkak.

Kita maklum pasal kesusahan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di sekitar tapi apa pun kemudahan apabila kita ambil alih, kita dapati banyak kawasan, barang-barang yang berada di kawasan Air Terjun Gunung Ledang dah rosak. So kita kena terpaksa tutup untuk buat kerja-kerja penyelenggaraan.

Dan kerajaan negeri telah pun, Perbadanan Taman Negara Johor telah pun memulakan kerja-kerja penyelenggaraan dengan kos sebanyak RM490,000.00 dan dijangka siap baik akhir tahun bulan ini. Dan kita percaya by awal atau pertengahan bulan satu, kita akan buka balik operasi Air Terjun Gunung Ledang. Dan untuk jangka masa panjang untuk pembangunan, kita telah pun memohon RM5.5 juta dan baru-baru ini Yang Amat Berhormat pun telah pun setujukan RM1.8 juta dalam bajet dia untuk pembangunan Air Terjun Gunung Ledang. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Apa progress penambahbaikan fasiliti di klinik-klinik kesihatan di dalam kawasan DUN Layang-Layang ?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Perpaduan, Salam Bangsa Johor, Salam Maju Johor seisi Dewan sekalian.

Untuk maklumat Yang Berhormat Layang-Layang, kerajaan negeri Johor bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor sentiasa berusaha untuk menambah baik tahap kualiti perkhidmatan kesihatan dan kemudahan infrastruktur fasiliti kesihatan dalam di negeri Johor. Sebagai maklumat terdapat 2 buah klinik kesihatan di dalam DUN Layang-Layang iaitu Klinik Kesihatan Layang-Layang dan Klinik Kesihatan Renggam.

Bagi meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan di 2 klinik kesihatan tersebut, pihak Jabatan Kesihatan Negeri telah melaksanakan beberapa kerja menaik taraf dan pembaikan infrastruktur seperti berikut:

Yang bagi Klinik Kesihatan Layang-Layang – kerja pendawaian semula elektrik 3 fasa dan lain-lain kerja berkaitan berjumlah RM200,000.00 pada tahun 2019. Kerja pembaikan pendawaian akibat insiden kebakaran berjumlah RM36,000.00 pada tahun 2020. Kerja pembaikan kecil di bangunan farmasi, ruang pesakit luar dan bangunan ibu dan anak berjumlah RM20,000.00 pada tahun 2022.

Bagi Klinik Kesihatan Renggam pula – kerja pembaikan bumbung, pendawaian elektrik, lain-lain kerja berkaitan di bangunan pergigian berjumlah RM200,000.00 pada tahun 2021. Kerja pembaikan ruang klinik demam dan lain-lain kerja berjumlah RM15,000.00 pada tahun 2022.

Kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus berusaha untuk merancang pembinaan baru dan menaik taraf semula fasiliti klinik kesihatan mengikut keperluan setempat berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan

dan memenuhi keutamaan Unit Perancang Ekonomi pada masa hadapan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Oleh kerana ini soalan khusus tentang Klinik Kesihatan Layang-Layang, saya benarkan satu soalan tambahan. Ada Yang Berhormat?

Yang Berhormat Datuk Speaker, soal kesihatan ini adalah satu soal, perkara yang sangat utama selain daripada pendidikan, kesihatan ini sangat penting. Dan bila kita melalui fasa endemik ini, kita sendiri tahu bahawa kesan daripada COVID ini akan kita lalui satu pengalaman baru iaitu yang dikatakan krisis kesihatan. Krisis kesihatan ini banyak yang kalau kita lihat hari ini makin...

Speaker

Soalan Yang Berhormat?

Ya Datuk. Penyakit-penyakit yang kita tak jangka. Dan kedua-dua klinik ini merupakan tumpuan selain daripada kemudahan-kemudahan yang disebutkan tadi yang telah pun dibaik pulih dan sebagainya, begitu juga kenderaan, ambulans itu penting sebenarnya. Maksud saya kemudahan yang lain untuk menyediakan ambulans kerana daripada Layang-Layang dan juga Simpang Renggam ini agak jauh, begitu juga daripada Kluang sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, kenderaan ambulans itu sendiri pun tak mencukupi untuk di Simpang Renggam ini untuk membantu sekiranya ada kes-kes yang berlaku di Layang-Layang.

Selain daripada yang berkaitan dengan daripada segi sudut pembaikan bangunan, pendawaian dan sebagainya, itu kita sedia maklum. Tapi ada lagi yang lain dari segi kemudahan-kemudahan seperti tembok, pagar dan sebagainya. Sebab ini merupakan bangunan kerajaan yang…

Speaker

Soalan Yang Berhormat, soalan?

Saya minta kepada Yang Berhormat EXCO supaya dapat melihat segala bentuk kesihatan ini, bukan di Layang-Layang sahaja supaya ditingkatkan kerana kita akan melalui apa nama, masa yang dikatakan…

Speaker

Ok Yang Berhormat, sila duduk Yang Berhormat.

Terima kasih.

Speaker

Sila.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga terima kasih daripada YB Layang-Layang. Saya faham apa maksud yang cuba dibawa oleh YB Layang-Layang dan juga beberapa YB yang telah menanya soalan mengenai tentang facilities kesihatan dalam negeri Johor, khususnya tentang penambahan ambulans, perkhidmatan ambulans.

Dan untuk maklumat Dewan sekalian, pada tahun ini saya telah berbincang dengan mantan Menteri Kesihatan Malaysia telah membawa permohonan dari negeri Johor supaya facilities ataupun ambulans dalam negeri Johor ini dapat ditambahkan. Dan saya juga dimaklumkan kerja-kerja perolehan sedang dilakukan di peringkat Kementerian, mudah-mudahan pada tahun hadapan kita akan menerima satu jumlah ambulans yang boleh kita agihkan kepada setiap hospital ataupun KK di kawasan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Mahkota.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Teruna desa merenung jauh, soalan hamba nombor 7.

Berapakah jumlah peserta yang layak mencarum dalam Skim Kasih Suri Keluarga Malaysia dan berapakah jumlah peserta yang telah mencarum dalam skim tersebut di negeri Johor?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga Yang Berhormat Mahkota.

Kerajaan negeri Johor mengambil inisiatif memperluas faedah dan manfaat program Kasih Suri Keluarga Malaysia (KSKM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dulunya merupakan program i-Suri bertujuan memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.

Seperti ahli lain yang bekerja, dengan insentif KWSP ini, suri rumah juga boleh menikmati dividen tahunan, layak untuk bantuan hilang upaya, bantuan kematian, pengeluaran simpanan dan pelepasan cukai yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Melihat kepada kepentingan dan faedah yang dapat diperolehi, justeru kerajaan negeri Johor melaksanakan program Kasih Suri Keluarga Malaysia (KSKM) Negeri Johor tahun 2022 bagi memastikan suri rumah di negeri Johor mempunyai simpanan di hari tua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di negeri Johor seramai 12,931 orang suri rumah diperolehi melalui data, pangkalan data kemiskinan nasional e-Kasih. Daripada jumlah tersebut, seramai 12,773 telah mendaftar di bawah Insentif i-Suri ini, manakala 91 suri rumah di bawah e-Kasih masih belum mendaftar sebagai ahli KWSP dan seramai 67 orang di kalangan mereka telah meninggal dunia. Bagi tahun 2022, kerajaan negeri Johor mensasarkan pemberian kepada dua fasa bagi tahun 2022, program ini mensasarkan seramai 12,864 orang suri rumah di kalangan senarai pangkalan data kemiskinan nasional e-Kasih yang layak mencarum dalam skim ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yayasan Pembangunan Keluarga telah membuat pembayaran caruman kepada KWSP bagi fasa pertama 2022, jumlah RM776,380.00 bagi caruman kepada 12,773 ahli i-Suri yang menerima manfaat caruman RM60.00 setahun daripada kerajaan negeri Johor. Manakala caruman bagi baki 91 orang peserta yang layak mencarum dan belum berdaftar akan dibuat pada fasa kedua 2022. Justeru, keseluruhan jumlah sumbangan kerajaan negeri Johor adalah berjumlah RM771,840.00. Terima kasih.

Speaker

Sila Mahkota.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Izinkan saya bertanya sikit saja lagi. Boleh Yang Berhormat EXCO nyatakan berapa peserta yang layak dalam daerah Kluang khasnya dalam kawasan DUN Mahkota dan apakah tindakan atau pendekatan daripada pihak Yang Berhormat dan jabatan untuk bantu mereka yang hendak dan memerlukan skim ini tetapi tak pandai nak mendaftar? Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Mahkota. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk menjawab bagi Skim Kasih Suri Keluarga Malaysia bagi daerah Kluang. Seramai 265 orang suri rumah diperolehi melalui senarai pangkalan data kemiskinan nasional e-Kasih bagi daerah Kluang. Dari jumlah tersebut Yang Berhormat Datuk Speaker, 16 orang telah mendaftar di bawah insentif i-Suri, manakala seramai 249 orang suri rumah di kalangan e-Kasih masih belum daftar di bawah ahli KWSP. Jadi kesemua 249 orang peserta yang belum berdaftar akan

didaftarkan pada fasa kedua tahun 2022. Menjawab kepada soalan tindakan yang akan dilakukan adalah Yang Berhormat Mahkota bahawa kerajaan negeri melalui KWSP dan Yayasan Pembangunan Keluarga akan membantu mendaftarkan jumlah bilangan yang belum mendaftar tersebut. Kerajaan negeri Johor amat prihatin Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih.

Speaker

Ok saya jemput Yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Endau nombor 8.

Apakah justifikasi pemilihan satu-satu jalan itu di selenggara semula kerana didapati di kawasan Jalan Endau – Mersing, jalan yang masih sempurna di selenggara tetapi jalan yang rosak tidak di selenggara.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Endau. Soalan Yang Berhormat Endau menanyakan mengenai kaedah pembaikan jalan raya merupakan antara soalan yang sering juga ditanyakan oleh ramai pengguna jalan raya serta masyarakat khususnya di media sosial.

Untuk makluman Yang Berhormat, Jalan Endau – Mersing merupakan Jalan Persekutuan FT003. Seperti yang saya pernah maklumkan sebelum ini, FT001, FT003 dan FT005 tidak di selenggara secara penuh selama empat tahun sejak 2018 disebabkan perubahan kontrak daripada Federal Roads Maintenance (FRM) kepada Performance Based Contract (PBC). Alhamdulillah kontrak baharu ini telah ditandatangani pada 16 Jun 2022 dan kawasan Yang Berhormat Endau merupakan lokasi pertama kerja-kerja pembaikan ini dimulakan iaitu di kawasan Jambatan Endau.

Untuk makluman Ahli Dewan, kualiti setiap jalan diukur dengan menggunakan unit IRI iaitu International Roughness Index. Unit ini menilai keadaan serta kerosakan dengan mengkategorikan setiap peringkat kerosakan. Kategori satu, baik (0.00 – 2.49), sederhana (2.50 – 3.49), kategori rosak (3.5 – 4.49) dan kategori sangat rosak (4.5 dan ke atas). Unit IRI ini berbeza antara lorong-lorong laluan kenderaan, jika ada dua lorong maka ada dua nilai yang berbeza bagi lorong kiri dan lorong kanan. Begitu juga bagi jalan yang memiliki tiga dan empat lorong. Purata nilai IRI ini adalah bagi setiap 100 meter jalan. Selain mengambil kira nilai IRI, pihak JKR juga menggunakan sistem HDM-4, Highway Development and Management Forth Edition iaitu satu sistem yang akan membantu kami dalam mencadangkan kaedah-kaedah pembaikan jalan tersebut. Sistem HDM-4 ini mengambil kira banyak faktor seperti nilai IRI, kos serta ketahanan sesuatu kerosakan itu. Kemudian HDM-4 ini akan memberi cadangan jenis dan kaedah pembaikan serta tempoh masa bila jalan tersebut perlu dibaiki. Nilai IRI yang berbeza antara setiap lorong, laluan serta berbeza sepanjang jalan memberi indikasi bahawa setiap jalan yang rosak perlu diperbaiki menggunakan kaedah yang berbeza serta ada kerosakan yang boleh ditangguhkan pembaikannya.

Pada pandangan mata kasar mungkin kita lihat jalan rosak tidak teruk, tetapi berdasarkan data cerapan oleh sistem kami kerosakannya melibatkan struktur tanah di bawah jalan tersebut. Sebagai contoh Yang Berhormat, lorong kanan rosak dan lorong kiri sangat rosak. Lorong yang rosak biasanya boleh dibuat dahulu kerana kaedah pembaikannya lebih mudah dan jalan yang sangat teruk akan dibuat kemudian kerana memerlukan design khas, kepakaran khas serta jentera khas dan ini mengambil sedikit masa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Endau serta Ahli Dewan, kami sentiasa memantau keadaan jalan raya di seluruh negeri Johor kerana kami yakin infrastructure

jaringan jalan raya yang baik merupakan faktor utama kehadiran pelabur dan pelancong khususnya ke daerah Mersing. Insya-Allah dalam tempoh sehingga 2026, saya yakin Jalan Endau – Mersing akan berubah wajah sepenuhnya. Terima kasih.

Speaker

Ya sila Sri Medan.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tadi sebenarnya saya tak ingin untuk soalan tambahan tapi bila dah sentuh dia kata EXCO menyatakan penyelenggaraan untuk seluruh negeri Johor. Jadi saya ingin memberi pandangan dan juga soalan tambahan, adakah pihak Jabatan Kerja Raya telah mengkaji semula spesifikasi yang digunakan sebelum ini? Contohnya, soal ketebalan, ketebalan premix yang digunakan kerana kalau sebelum ini mungkin dengan keadaan jentera mungkin tak banyak, kenderaan-kenderaan yang menggunakan jalan tetapi hari ini kenderaan berat pun dah semakin banyak, adakah pihak JKR akan mengkaji semula ketebalan setiap bahan material yang digunakan contoh crusher run dan juga premix. Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat serta Ahli Dewan, memang JKR ada dalam kajian merangka strategi ketahanan setiap jalan dan selalunya tempoh ketahanan setiap jalan ini boleh bertahan sehingga 10 tahun tapi seperti Yang Berhormat sebutkan tadi ada jalan yang dulu mungkin jalan kampung kemudian dah berubah menjadi jalan utama sebagai contoh dan insya-Allah jalan-jalan ini kita sentiasa update kategori-kategori jalan dan pihak JKR ada database nya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput... sebelum saya jemput soalan seterusnya, Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati dua orang dari Pejabat ADUN Pemanis, dua orang dari Pejabat ADUN Layang-Layang, empat orang dari Pejabat ADUN Johor Lama dan seorang dari Pejabat ADUN Sungai Balang. Terima kasih. Dijemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 9.

Mohon untuk memperjelaskan dan perkongsian. Apakah bantuan dan dana yang telah dan akan disalurkan kepada Usahawan Kecil Sederhana terutamanya penjaja, peniaga kecil, pengusaha warung, pengusaha produk hiliran dan peniaga luar bandar? Sekiranya ada, mohon untuk memaklumkan bagi penyelarasan agihan permohonan.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih. Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada YB Sedili dengan bertanyakan soalan dan perkongsian apakah bantuan dan dana yang telah disalurkan kepada usahawan kecil sederhana terutamanya penjaja, peniaga kecil dan pengusaha warung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah di bawah kendalian Yang Amat Berhormat Menteri Besar, mengambil prihatin terhadap pembangunan usahawan negeri Johor. Di bawah khususnya, di bawah Perbadanan Usahawan Negeri Johor juga telah banyak merancang, yang telah dijalankan dan bakal dijalankan pada tahun 2023, insya-Allah. Dan di bawah Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) banyak inisiatif-inisiatif telah dirancangkan. Saya mengambil contoh apa yang telah dilaksanakan sebelum-sebelum ini, telah mewujudkan satu mesyuarat dipanggil Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) yang menganggotai 49 agensi di bawah agensi kerajaan mahupun di bawah agensi persekutuan yang mana berkongsikan apa sahaja bentuk dana dan saluran kepada usahawan-usahawan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Sedili menerusi agensi kerajaan iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. juga telah melaksanakan 11 inisiatif pemerkasaan usahawan yang merangkumi Geran PKS Makmur Johor, promosi produk PKS Johor, Program Alternatif Pembiayaan, Program Latihan Usahawan Johor, Simposium Usahawan Nusantara, Hari Bertemu Pelanggan Sesi Libat Urus ke Premis Usahawan, Penyelarasan Data Usahawan menerusi Pusat Data Usahawan atau lebih dikenali dengan PADU yang mempunyai sekarang keahlian seramai 12,000 dan saya mengharapkan ada satu keselarian antara jabatan kerajaan, agensi-agensi di bawah Majlis Perbandaran mahupun Majlis Bandaraya yang mana, mana-mana usahawan yang mendaftar mempunyai lesen perniagaan haruslah mengingati kepada usahawan-usahawan atau peniaga-peniaga untuk melayari laman sesawang PUJB agar mendaftar sistem PADU ini untuk mendapatkan akses dengan izin apa segala bentuk bantuan mahupun pembiayaan melalui sistem ini.

Selain daripada itu juga, Inisiatif Pembukaan Akaun yang telah dijalankan, Program Pembangunan Ekonomi Setempat 2.0. Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sedili menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim juga telah menjalankan satu inisiatif yang telah dilaksanakan iaitu Kursus Asas Kemahiran dan Bantuan Peralatan. Selain daripada itu, banyak agensi yang telah bersama-sama memastikan usahawan-usahawan yang baharu walaupun kita sedar banyak usahawan-usahawan seperti cendawan tumbuh hari ini, apabila cendawan tumbuh ini banyak bantuan-bantuan yang dimohon dan dipinta tetapi kita harus akur dengan peruntukan semasa yang diberi oleh kerajaan negeri kepada PUJB. Tetapi alhamdulillah, agensi-agensi seramai 49 agensi itu telah membantu bersama-sama untuk memastikan kelancaran usahawan-usahawan contohnya seperti SME Corp Malaysia telah membantu dalam bisnes eco-system exclusive PKS, pembiayaan pengukuhan PKS, program peningkatan entrepreneur bisnes bumiputera. Selain daripada itu juga, TEKUN, TEKUN mempunyai, memberi pinjaman pembiayaan TEKUN Niaga, Skim Pembiayaan Teman TEKUN dan seterusnya SME Bank yang turut memainkan peranan menganjurkan bisnes-bisnes Accelerator Program dengan izin, small business financing dan seterusnya Amanah Ikhtiar Malaysia juga melaksanakan beberapa lagi insentif iaitu Skim i-Mesra, Skim i-Srikandi, Skim i-Wibawa, Skim i-Sejahtera. PUNB pembiayaan prospek profesional dan stesen minyak dan yang terakhir sekali adalah daripada PERNAS yang melaksanakan satu inisiatif seperti Skim Pembiayaan Franchise, Skim Pembiayaan BIT dan Be Your Own Boss, dengan izin. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya Sedili, silakan.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan dan penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya, mohon Yang Berhormat EXCO nyatakan bantuan kepada usahawan terutamanya dalam mendidik dan menyediakan dokumentasi lengkap khususnya dalam proses membuat permohonan dana atau peruntukan yang disediakan oleh agensi-agensi tersebut. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Sedili atas soalan tambahan yang diberikan. Yang Berhormat Datuk Speaker, secara amnya dalam membantu usahawan untuk mendapatkan bantuan agensi-agensi keusahawanan menumpukan usaha-usaha dalam mendidik, dia mendidik PMKS ini Perusahaan Mikro Kecil Sederhana dalam menyediakan dokumentasi yang lebih teratur sebagai contoh rekod kewangan syarikat, ini dilakukan melalui pocket talk dengan izin, secara maya mahupun fizikal, penglibatan kaunter informasi dan hebahan melalui laman sesawang rasmi serta media sosial agensi berkaitan di samping menyampaikan maklumat-maklumat dan penerangan mengenai program yang ditawarkan oleh agensi-agensi.

PUJB juga telah mewujudkan seperti saya cakap tadi, Sistem Pusat Data Johor iaitu PADU yang akan diwajibkan dan diselaraskan kepada semua usahawan di Johor bagi memastikan semua maklumat dapat diakses, dianalisa dan dijadikan sumber untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kepada usahawan dan rakyat umumnya yang berfungsi untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk latihan, bantuan kepakaran dan lain-lain yang berkaitan dalam bidang keusahawanan. Menjadi rujukan bagi maklumat bantuan yang telah diterima oleh usahawan di Johor serta memudahkan permohonan penyewa premis perniagaan.

Kerajaan negeri juga yakin bahawa sektor keusahawanan menjadi tunjang utama di negeri ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi terus memastikan aspirasi ini dicapai melalui bajet ataupun Belanjawan Johor 2023 dengan kerajaan negeri akan terus komited dengan memberi fokus meliputi inisiatif-inisiatif berbentuk bantuan dan latihan keusahawanan bagi dimanfaatkan oleh PMKS Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Pemanis, sila.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, saya mendengar dengan teliti jawapan daripada YB EXCO tadi berkaitan dengan pelbagai bantuan yang telah kita berikan kepada usahawan-usahawan kita. Saya dimaklumkan juga ada satu sistem pemantauan yang dipanggil PADU yang akan memantau pergerakan usahawan-usahawan ini, soalan saya ialah sejauh mana sistem ini mampu memantau usahawan-usahawan yang gagal, yang berjaya, kalau berjaya mungkin mereka boleh diberikan tambahan peruntukan ataupun tambahan bantuan maksudnya untuk membesarkan lagi perniagaan mereka dan bagaimana sistem PADU ini boleh mengenal pasti usahawan ini, boleh kita terus bantu jika mereka ini gagal boleh tak mereka ini diberikan bantuan dalam keadaan yang lain. Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih YB Pemanis, soalan berkaitan dengan sistem PADU ini, sistem PADU ini cukup menarik kalau YB melayari sesawang ini kerana kami memberi peluang kepada usahawan-usahawan yang baru especially dengan izin untuk membantu mereka dari segi segala aspek contohnya mereka mahu tahu pembiayaan, mahukan bantuan-bantuan peralatan, sebab itu saya meminta YB-YB di dalam Dewan ini agar membantu pihak PUJB menyalurkan sistem sesawang ini kerana ramai usahawan-usahawan di luar ini menyatakan tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan-bantuan so sebab itulah seperti saya katakan tadi peruntukan dari PUJB tidaklah sebesar yang mana tetapi daripada agensi-agensi kerajaan yang lain melalui sistem ini integrate di antara agensi-agensi lain dapat melihat sama ada sebelum ini dia dah dapat contohnya daripada TEKUN, tidaklah dia dapat daripada PERNAS mahupun daripada SME so hanya sekali sahaja kita membantu untuk memastikan tidak berkali-kali mereka masuk dan mendapat bantuan daripada kerajaan so banyak lagi usahawan-usahawan di luar untuk kita bantu. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, pacak bendera guna buluh, soalan Kukup nombor 10.

Apakah perancangan kerajaan negeri untuk menarik pelabur datang dan pembangunan yang akan dibina di DUN Kukup setelah jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Kukup ke Gelang Patah siap?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Datuk Speaker, merujuk kepada Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 Daerah Pontian di mana terletaknya DUN Kukup telah

pun dizonkan bagi pembangunan ekopelancongan, aktiviti perikanan dan maritim, pembuatan ringan yang melibatkan pemprosesan makanan dan bahan pembinaan. Justeru, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan mengikut pelan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan pelaburan baru di semua wilayah di negeri Johor dan ianya termasuklah di DUN Kukup.

Projek pembinaan jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin di Pontian dijangka siap tahun ini adalah antara salah satu usaha dan komitmen kerajaan dalam memangkinkan pembangunan sosioekonomi di daerah Pontian. Jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu akan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari kira-kira satu jam sekarang ke 15 minit sahaja dan ini secara langsung akan menggalakkan lagi aktiviti sosioekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan lagi pendapatan serta taraf hidup warga setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri menerusi Invest Johor sentiasa menggembleng usaha bagi menarik pelaburan baharu sama ada dari mahupun dalam mahupun luar negara untuk dimanfaatkan oleh seluruh, seluruh warga dan wilayah di negeri ini termasuk DUN Kukup di daerah Pontian. Invest Johor juga giat menjalinkan kerjasama strategik bersama jabatan atau agensi yang berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MIDA), IRDA dan lain-lain bagi tujuan penyaluran serta perkongsian maklumat untuk hebahan dan promosi kepada prospek pelabur mengenai potensi pelaburan di setiap wilayah dan daerah di negeri Johor.

Invest Johor juga giat mengadakan sesi libat urus bagi menyantuni para pelabur sedia ada dan pemain industri di negeri ini menerusi pelaksanaan inisiatif friendly Johor. Sesi libat urus ini diadakan bagi mendapatkan gambaran sebenar industri-industri yang tersedia di setiap daerah di negeri Johor. Segala input mahupun permasalahan yang dibangkitkan oleh para pelabur, pemain industri mahu pun pemaju kawasan perindustrian akan ditangani dengan cara yang lebih berhemah, characteristic dan holistik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Program friendly Johor edisi daerah Pontian yang telah pun diadakan pada 20 September 2022, yang lepas di mana Yang Berhormat Kukup telah pun bersama mengunjungi beberapa syarikat yang berada di daerah Pontian termasuk ATT Tanjung Bin yang menempatkan Terminal Produk Minyak Gas dan Tenaga, turut dilawati termasuk Stesyen Janakuasa Malakoff yang juga terletak di Tanjung Bin. Projek-projek ini merupakan satu tanda dan yang positif bagi daerah Pontian terutamanya dalam menerima pelaburan baharu yang lebih banyak pada masa tahun hadapan.

Selain itu, pembukaan Taman Perindustrian Tropicana yang dijangka pada masa terdekat di daerah Pontian juga dapat menawarkan alternatif yang lebih menarik kepada prospek pelabur luar untuk melabur di daerah Pontian. Dalam hal ini beberapa siri perbincangan serta sesi libat urus dengan prospek asing dan tempatan yang menunjukkan minat untuk melabur di daerah ini telah pun dilaksanakan. Jika ianya dapat direalisasikan nescaya ia akan dapat memangkin pembangunan ekonomi di negeri Johor secara amnya dan di daerah Pontian secara khususnya. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Soalan tambahan saya, negeri Johor telah dinobatkan sebagai negeri yang memperolehi nilai pelaburan tertinggi di Malaysia pada suku kedua tahun ini dengan nilai pelaburan berjumlah RM60.9 bilion, apakah pelan rancangan kerajaan negeri dalam meletakkan negeri Johor sebagai destinasi utama pelaburan ke Malaysia yang mempunyai nilai tambah serta daya penarik yang membezakan negeri Johor dari negeri-negeri lain di Malaysia terutamanya dari sudut penawaran inisiatif pelaburan? Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, ya negeri Johor kita sangat unik antaranya adalah lokasi strategik negeri Johor ni yang kita berhampiran dengan negara Singapura dan juga negeri Johor kita mempunyai modal insan yang baik, kemudahan asas yang baik dan itulah sebab-sebab kenapa negeri Johor telah pun menjadi pelabur yang terbanyak bagi suku kedua tahun 2022. Maka di peringkat kerajaan negeri kita sedang giat membuat perancangan dari segi pelan induk pelaburan bagi negeri Johor dan kita kerjasama dengan agensi-agensi persekutuan seperti MIDA, IRDA, JPDC dan lain-lain untuk membuat promosi negeri Johor kepada pelabur-pelabur di luar negara dan di peringkat kerajaan negeri seperti mana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Kulai Fast Lane yang telah pun dilaksanakan di daerah Kulai akan dipergiatkan, akan dilaksanakan di setiap PBT dan di negeri Johor supaya kita dapat memberi keyakinan kepada para pelabur bahawa negeri Johor ini adalah negeri yang mesra pelabur bahawa kerajaan negeri Johor sentiasa sudi untuk membantu, untuk kita membantu pelabur untuk mencapai matlamat mereka di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Soalan saya nombor 11.

Apakah status kajian silibus dan kurikulum SAKJ yang telah diluluskan semasa saya menjadi Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor?

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. (Bacaan selawat).

Yang Berhormat Layang-Layang bertanya kepada saya, apakah status kajian silibus dan kurikulum SAKJ yang telah diluluskan ketika beliau menjadi Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Layang-Layang, Alhamdulillah secara tuntas saya katakan, silibus ketika mana Yang Berhormat Layang-Layang menjadi EXCO Kerajaan Johor, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor adalah merupakan silibus yang sekarang ini sedang digunakan dalam sekolah agama kerajaan Johor dan juga syabas kepada Yang Berhormat Layang-Layang atas usaha beliau sebelum ini.

Untuk makluman Yang Berhormat serta Ahli Dewan, kurikulum Sekolah Agama Kerajaan Johor tahun 2008 telah pun diguna pakai untuk tempoh 10 tahun mulai 2008 sehingga tahun 2017. Pada tahun 2015, iaitu ketika Yang Berhormat Layang-Layang menjadi EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah mengadakan kajian dalaman bertajuk Kajian Keperluan dan Keberkesanan Kurikulum Sekolah Agama Kerajaan Johor.

Hasil kajian tersebut telah diambil kira sebagai asas kepada kertas kerja cadangan permohonan perubahan kurikulum dan pertukaran kitab sekolah agama kerajaan Johor tahun 2018. Kertas tersebut telah dibentang dan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Johor serta telah disembah maklum dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Kemudian dimajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor dan Pegawai Kewangan Negeri untuk persetujuan dan seterusnya kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Kurikulum baharu itu ketika Yang Berhormat Layang-Layang menjadi EXCO dinamakan sebagai Kurikulum Standard Sekolah Agama tahun 2018 singkatannya KSSA 2018. Ianya bagi kegunaan sekolah-sekolah agama kerajaan Johor (SAKJ) dan sekolah-sekolah agama swasta yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Bahkan bagi tujuan menanam rasa cinta dan kasih sayang, rasa jati diri rakyat Johor kepada negerinya dan

Kesultanan Johor, Majlis Agama Islam telah bersetuju menambah mata pelajaran Kesultanan Islam Johor (KIJ) dalam kurikulum standard sekolah agama tahun 2018.

Penggunaannya bermula pada tahun 2020 pada tahap 1, tahun 2021 bagi tahap 2, manakala bagi darjah khas pada tahun ini 2022. Penerbitan dan penggunaan kitab baharu ini adalah berdasarkan KSSA tahun 2018 dan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2018 hingga 2022, sebagaimana butiran berikut:–

Pada tahun 2018, kitab ibadat bagi darjah 4, darjah 5, darjah 6 juga darjah khas; pada tahun 2019, kitab buku tadika agama Johor dan kitab darjah 4; bagi tahun 2020, kitab darjah 1 dan darjah 5 serta buku Kesultanan Islam Johor tahap 1; bagi tahun 2021, kitab darjah 2, kitab darjah 6 serta buku Kesultanan Islam Johor tahap 2; manakala pada tahun ini kitab darjah 3, kitab Darjah Khas serta buku Kesultanan Islam Johor bagi Darjah Khas.

Semua kitab bagi kurikulum standard sekolah agama tahun 2018 yakni TAJ (Tadika Agama Islam Johor) tahap 1, tahap 2 dan juga darjah khas yang diterbitkan secara berperingkat telah pun siap sepenuhnya pada tahun 2022 dan telah pun digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama kerajaan Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Mohon nyatakan langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu projek perumahan sakit khususnya projek-projek yang berada di bawah kerajaan persekutuan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun projek perumahan sakit dan projek terbengkalai ini di bawah bidang kuasa Menteri Kesatuan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selaras dengan Seksyen 11(1)(a) Akta 188, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama bagi membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara atau moderator bagi syarikat dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa PBT, agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.

Pihak KPKT sentiasa bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Galian atau Pejabat Daerah Tanah Daerah serta mana-mana agensi seperti SAJ, TNB, JKR yang berkaitan sama ada ianya di peringkat negeri mahupun persekutuan bagi mengenal pasti kaedah pemulihan atau penyelesaian projek berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa serta memenuhi keperluan perjanjian jual beli.

Hal ini dapat dilihat Kerajaan Negeri memberi komitmen dalam membantu memudah cara, dalam memantau serta memberikan kelulusan sehingga ke peringkat CCC atau penyerahan kunci seperti projek sakit:-

1. Di Taman Setia Indah, 639 unit yang telah diselesaikan oleh pihak Kumpulan Prasarana Johor atau KPRJ sehingga ke peringkat penyerahan kunci.

2. Projek Taman Kota Jaya, 87 unit dapat diselesaikan sehingga penyerahan kunci.

3. Projek sakit insya-Allah bakal diselesaikan pada awal tahun hadapan iaitu Taman Residency Kota Tinggi berjumlah 625 unit yang dimajukan oleh pihak Prima.

Hal ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri sangat penting dalam memastikan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri dapat membantu dalam menyelesaikan isu-isu projek sakit.

Untuk makluman, pihak KPKT juga turut mengambil tindakan menyenaraihitamkan pemaju-pemaju projek yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai, projek-projek yang terlibat dengan projek sakit, pemaju-pemaju yang gagal membayar kompaun, pemaju-pemaju ingkar award tribunal tuntutan pembeli rumah dan pemaju-pemaju rumah tanpa lesen, apabila di senarai hitam pemaju dan lembaga pengarah terbabit tidak boleh memohon lesen dan permit iklan dan jualan. Senarai projek senarai hitam turut dipaparkan di laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan stakeholder yang lain. Terima kasih.

Speaker

Sila Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Soalan tambahan saya yang berkaitan dengan perumahan sakit ini sama ada peringkat persekutuan ataupun negeri, bagaimana kerajaan negeri melihat kebajikan pembeli yang akan menanggung kerugian dengan terpaksa membayar pinjaman setiap bulan tapi rumahnya belum diduduki, kadang-kadang sampai bertahun-tahun, mungkin adakah kerajaan bersetuju jika ada syarat-syarat tambahan kepada pemaju contohnya bila ada perumahan baru, kita beri syarat jika ada sakit apa... satu jumlah amaun perlu dibayar oleh pemaju untuk menanggung mungkin kita beri pampasan atau rebat kepada pembeli yang menanggung kerugian ini. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih YB Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingat bila sebut tentang isu perumahan sakit dan terbengkalai ini, sudah tentulah yang mendapat penganiayaan ialah pembeli-pembeli atau rakyat Johor itu sendiri.

Saya ingat saya telah turun beberapa projek rumah sakit dan terbengkalai ini contohnya Residency Kota Tinggi, saya nak kongsilah. Projek itu dah 3 tahun sakit, maksudnya sepatutnya disiapkanlah. Tetapi apa yang berlaku ialah kontraktor yang pertama tidak ada modal untuk menyiapkan projek itu, apa yang dibuat ialah melambat-lambatkan untuk menyiapkan projek itu, akhirnya Prima membuat keputusan di peringkat board director untuk terminate, terminate atau memecat kontraktor itu mengikut perjanjian S&P lah. Tetapi selepas itu, proses untuk melantik kontraktor baru pun memanggil masa yang terlalu lama.

Saya ingat kadang-kadang sampai satu tahun disebabkan documentation iklan dan sebagainya, ini birokrasi yang ada di peringkat KPKT itu sendiri. Jadi apa yang nak kongsi pengalaman saya contoh di Taman Molek. Taman Molek under SPNB. Pemaju yang pertama Cosmic Master, pemaju yang pertama. Dia buat projek itu tak berjaya, lepas tu akhirnya di terminate oleh SPNB. SPNB lantik pemaju penyelamat yang kedua yakni Hock Sing. Jadi Hock Sing ini pula pemaju yang kedua dia dah siapkanlah fasa 1 dan fasa 2. Kita di peringkat kerajaan negeri jadi mediator atau orang tengah jumpa kan pemaju dengan SPNB ini, saya sebagai orang tengah kerajaan negeri, bila kita bincang bersama di peringkat pemaju dan SPNB dah bersetuju nak bawa isu ini dalam bentuk rundingan peguam dan peguam. Tetapi akhirnya apa yang berlaku, board di peringkat SPNB memecat kontraktor yang kedua pula. Jadi bila memecat, tadi kontraktor yang pertama dah pecat, ni dah 4 tahun lepas punya, lepas tu pecat lagi kontraktor kedua, lantik lagi kontraktor yang ketiga. Jadi proses ini memakan masa bertahun-tahun. Sebab tu bila sebut tentang isu sakit, contoh sama juga dengan YB Amira (Puteri Wangsa) Taman Mount Austin. Ini projek berapa tahun? Bolehlah kita turun buat demonstrasi dan sebagainya, tapi akhirnya yang pegang untuk selesaikan masalah tu ialah kontraktor juga pemaju itu sendiri. Jadi akhirnya kita, pihak KPKT sepatutnya kena ada satu dasar macam YB Panti tadi beritahu, macam

mana supaya pembeli-pembeli ini dilindungi? Saya, ikut pengalaman saya sebagai YB EXCO 8 bulan ini, saya rasa amat sedih juga pasal bila berhadapan dengan pembeli-pembeli ini, kita sedia maklum dia dah dijanjikan tahun ini nak duduki rumah, rumah tu siap oleh pemaju, tetapi dalam masa yang sama dia pun sewa rumah yang lain. Jadi dia kena bayar 2, rumah pertama bayar RM1,000.00 sewa, rumah kedua bayar RM1,500.00, jadi RM2,500.00 bayar setiap bulan. Tapi pemaju yang tak bertanggungjawab ini janji tinggal janjilah. Jadi akhirnya benda tu drag tahun pertama, tahun kedua, tahun ketiga.

Residensi Kota Tinggi under Prima ini, Prima ini adalah satu agensi di bawah kerajaan yang ternama tetapi dia orang pun berhadapan dengan masalah bila kontraktor yang mereka lantik tidak dapat siapkan kerja.

Speaker

Tu tender terbuka ke direct nego Yang Berhormat?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang mula-mula tu tender terbuka, yang baru punya kontraktor ni di peringkat board sendiri buat keputusanlah. Jadi apa yang nak saya cuba sampaikan di sini ialah saya nak ucapkan terima kasih kepada khasnya kepada agensi-agensi kerajaan contoh baru-baru ini kita sedang selesaikan ni Residensi Kota Tinggi 625 unit rumah, projek ini dah 4 tahun sakit. Macam mana kita buat tuan-tuan? Saya selalu nak ingatkan pada agensi-agensi terlibat, Ketua-ketua Jabatan baik di peringkat PBT tu sendiri, bila sebut projek sakit atau projek terbengkalai baik agensi SPNB, JKR, hendak selesaikan projek sakit dan terbengkalai ini kita mesti selesaikan di luar kotak. Kalau ikut kaedah biasa, proses SOP biasa memang tak boleh selesai, tak boleh selesai. Sebab tu bila ada task force untuk selesaikan projek sakit atau terbengkalai ini, apa yang saya buat? Apa yang kerajaan buat? Ialah kita minta yang datang tu agensi yang boleh buat keputusan dan keputusan yang dibuat ialah di luar kotak, barulah isu ini boleh diselesaikan.

Jadi saya ingat itu saja YB Panti, saya ingat di peringkat kerajaan negeri dah tentulah saya harapkan sangat pada kerajaan persekutuan untuk mengetatkan lagi syarat-syarat yang dikenakan kepada pemaju-pemaju. Kadang-kadang di peringkat kuasa kerajaan negeri ini kita duduk sebagai orang perantaraan atau orang tengah untuk jumpa kan pemaju dengan agensi kat tengah. Tapi bidang kuasa tu peringkat kerajaan persekutuan. Tapi kalau ada agensi persekutuan macam Prima datang kepada kita, SPNB datang kepada kita untuk minta kerajaan bantu, insya-Allah kita akan bantu. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 13.

Adakah kerajaan Johor mempunyai inisiatif membangunkan sektor pelancongan "convention, exhibition, seminar dan trade fair" ?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kerajaan negeri sentiasa komited menggiatkan usaha dalam meneroka dan seterusnya membangunkan sektor-sektor yang dilihat dapat memberi peluang serta manfaat yang maksima kepada pembangunan ekonomi negeri Johor. Antara sektor yang turut disasarkan adalah sektor convention, exhibition, seminar dan trade fair sepertimana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Stulang atau nama lainnya sektor MICE (meeting, incentives, conferences, and exhibitions) dengan izin.

Sepertimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, kerajaan negeri melalui Invest Johor telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pelaburan Johor bagi menyelaraskan perkara-perkara berkaitan sektor pelaburan di negeri Johor.

Ianya terdiri daripada 3 mesyuarat jawatankuasa kecil iaitu jawatankuasa promosi pelaburan yang melibatkan pra-pelaburan dan pasca pelaburan serta jawatankuasa acara perniagaan Johor (JBECB) Johor Business and Exhibition Convention Bureau. Jawatankuasa JBECB ini memberi fokus kepada pembangunan sektor MICE yang dilihat sebagai sumber alternatif baru bagi meningkatkan daya tumbuh ekonomi negeri Johor. Bagi merealisasikan visi tersebut, Johor Convention Exhibition Bureau telah pun diwujudkan di bawah Invest Johor. Tujuan utama penubuhan Unit JCEB adalah sebagai satu badan yang mewakili kerajaan negeri Johor dan berperanan mempromosikan, menyelaras dan memudah cara penganjuran acara-acara pelaburan atau perniagaan di negeri Johor. JCEB juga bertanggungjawab bagi mengenal pasti potensi serta peluang penganjuran acara perniagaan yang berteraskan kepada empat tunjang utama dalam sektor MyIS iaitu corporate meeting, business incentive travelers, conferences, and convention dan trade exhibition. JCEB juga telah menjalinkan kerjasama dengan pihak MyCEB iaitu sebuah badan di bawah Kementerian Pelancongan bagi meningkatkan lagi potensi hak penganjuran acara-acara yang bersesuaian dengan kapasiti kemudahan yang ada di negeri ini.

Bagi menggalakkan lagi pembangunan sektor ini, terdapat enam pemberian insentif oleh empat agensi persekutuan iaitu di bawah Kementerian Pelancongan, Geran Sepadan Sektor Pelancongan Tahun 2022, di bawah Tourism Malaysia, Geran Sepadan Sektor Kebudayaan Tahun 2022, Galakan Pelancong Malaysia, di bawah MyCEB Let’s Meet Locally Let’s Meet Tomorrow, di bawah MIDA iaitu Incentive Tourism and Travel Related Services.

Bagi makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, terdapat juga beberapa buah negeri lain yang turut memberi insentif, apa tu, fokus kepada sektor ini iaitu negeri Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah. Di mana negeri Johor kita sedang berusaha untuk melihat apakah pengalaman-pengalaman di negeri tersebut dan juga di peringkat persekutuan supaya kita dapat membangunkan sektor ini.

Bagi kerajaan negeri Johor, Invest Johor telah pun akan teruskan inisiatif Johor Go Global untuk mempromosi negeri Johor melalui platform digital dan juga menghasilkan video korporat bagi sektor ini untuk mempromosikan sektor MyIS ini. Dan di bawah Belanjawan 2023 telah pun diumumkan bahawa Johor International Business Submit akan dianjurkan oleh kerajaan negeri Johor bagi menarik lebih banyak pelabur di sektor ini dan juga di sektor-sektor lain. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Datuk Speaker dan juga Yang Berhormat EXCO. Sebagaimana yang kita sedia maklum sektor convention, exhibition, seminar, trade fair, majlis ulang tahun persatuan dan juga trip incentive syarikat ini akan membawa masuk rombongan mega pelancongan dan rombongan mega peniaga mega ke Malaysia dan Johor. Kesan ekonomi langsung dan tidak langsungnya adalah sangat besar. Jadi apakah bentuk insentif-insentif selain daripada tunai, maksudnya bantuan dari segi pengangkutan ke, pemandu pelancongan ke, F&B dan sebagainya yang akan diberikan kepada penganjur bagi menggalakkan persatuan-persatuan untuk membida, membida hak penganjuran bagi acara berbentuk kebangsaan ataupun antarabangsa dan selepas ini kesinambungannya adalah selepas mereka datang ke Malaysia atau Johor, apakah bentuk kerjasama dengan para pengusaha pelancongan dan peniaga tempatan agar mereka yang datang ke Johor akan mempunyai itinerary yang lebih padat dan berbelanja lebih bagi merancakkan ekonomi tempatan. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Dari segi insentif-insentif kewangan adalah disediakan oleh kerajaan persekutuan, di peringkat kerajaan negeri kita memberi fasilitet untuk membantu penganjur-penganjur sebagai contoh kita memberi kerjasama dari segi clear, immigration clearance, kita juga membantu dari segi menyelaraskan fi-fi di peringkat

PBT dan juga berkaitan dengan bantuan-bantuan dari segi kerajaan negeri, kita ada kerjasama dengan pihak Warisan Johor supaya kita menawarkan tarikan untuk menarik, membantu penganjur-penganjur dan ia juga berusaha untuk mempromosikan Johor dari segi pelancongan juga. Dan akhir sekali pihak Invest Johor juga mengambil kesempatan apabila adanya satu acara besar-besaran di negeri Johor, kita tawarkan, kita membawa apa tu para business traveler itu untuk melawat ke tapak-tapak perindustrian, kita membawa mereka untuk memperkenalkan pemain-pemain industri tempatan supaya ia boleh menjalinkan hubungan kerjasama dan harap-harap ia dapat mewujudkan satu limpahan ekonomi kepada negeri Johor ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Yang Berhormat Speaker, soalan Tangkak nombor 14.

Sila nyatakan sejauh manakah pencapaian Geran PKS Makmur Johor 2022 (GOL 4.0).

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan daripada Yang Berhormat Tangkak, sejauh manakah pencapaian Geran PKS Makmur Johor bagi Tahun 2022 dengan nama singkatan (GOL 4.0). Yang Berhormat Tangkak, Yang Berhormat Datuk Speaker. Bagi program Geran PKS Makmur Johor 2022 menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) ini merupakan tahun keempat, tahun keempat bagi pelaksanaannya dan bagi tahun ini program ini memberi bantuan geran berbentuk mesin dan peralatan kepada lima jenis kluster perniagaan iaitu guntingan rambut, kimpalan, pertukangan kayu, percetakan dan pemprosesan makanan dan minuman. Untuk makluman Yang Berhormat Tangkak, setakat ini program tersebut telah selesai pelaksanaan dengan memberi manfaat kepada seramai 419 usahawan dengan nilai keseluruhan peruntukan berjumlah RM3.5 juta dan penerima-penerima tersebut menerima mesin peralatan dengan nilai kelulusan maksimum RM10,000.00. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya, sila.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih atas jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO. Ok, selama ini sejak Geran PKS Makmur Johor yang dulu dinamakan Geran Orang Lokal ini dilaksanakan, lima-lima kluster yang disebut oleh YB EXCO tadi adalah sejak permulaan pelaksanaan ini, tetapi selain daripada itu dalam senarai yang tidak layak, kluster yang tidak layak terdapat dua yang telah menarik perhatian saya iaitu kluster elektrik dan plumbing dan juga sukan dan hobi adalah tidak termasuk dalam kluster layak. Jadi, adakah pihak PUJB akan menimbang untuk menambah kluster-kluster yang saya sebut tadi dan kalau tidak, apakah alasan dan sebab-sebabnya? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Tangkak, insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker akan dipertimbangkan perkara-perkara yang dibangkitkan itu tadi, terima kasih.

Speaker

Tutup, tutup. Saya nak jemput orang kuat saya YB Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 15. Mohon pihak kerajaan negeri menambah peruntukan untuk membaiki benteng bagi menghadapi angin monsun timur laut dari benteng Parit Hailam ke Parit Botak, Sri Pantai,

Segenting, Sungai Ayam dan Benteng Sungai Suloh ke Tanjung Labuh (benteng luar / orang kampung).

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Senggarang, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam DUN Senggarang, benteng Parit Hailam ke Segenting dengan jumlah panjang 36.5 kilometer merupakan benteng di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran, manakala benteng Sungai Suloh sehingga ke Tanjung Labuh merupakan benteng luar atau orang kampung dengan jumlah panjang 4 kilometer. Kerja pembaikan benteng bagi lokasi yang telah dikenal pasti kritikal sahaja akan melibatkan anggaran kos sebanyak RM1 juta. Walau bagaimanapun, dalam Projek Fenomena Air Pasang Besar di dalam projek RMK-12 untuk menaik taraf benteng pantai dari Tanjung Piai, Pontian hingga Minyak Beku, Batu Pahat, kerajaan pusat telah meluluskan untuk daerah Pontian sebanyak RM19 juta dan Batu Pahat sebanyak RM26 juta. Kerja-kerja ukur, penyiasatan tanah dan reka bentuk sedang dijalankan ketika ini dan tender dan kerja fizikal dijangkakan dalam pertengahan tahun 2023. Terima kasih.

Speaker

Sila.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO, soalan tambahan saya. Sekarang ni kawasan yang menanti untuk pecah ni insya-Allah Kampung Orang Asli Seri Pantai, jadi apakah cara dan kaedah lain bagi membolehkan benteng tersebut dibaik pulih dalam masa yang singkat? Terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Senggarang. Dia bila kita nak tahu Yang Berhormat Datuk Speaker, bila dah ada peruntukan kerajaan pusat dan kerja-kerja penambahbaikan akan dijalankan pertengahan dan sekarang kerajaan negeri di dalam suatu ketika adakah kita nak keluarkan duit untuk satu projek yang akan dijalankan dalam pertengahan bulan, tahun depan. Walau bagaimanapun untuk YB Senggarang, kerajaan negeri memang akan tengok kan situasi tempat tersebut kalau betul-betul dia memerlukan kita akan tolong. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Endau nombor 16. Apakah tindakan pihak kerajaan bagi mengawal berkaitan haiwan ternakan yang dilepaskan merayau di kawasan jalan raya sehingga kadangkala menyebabkan berlakunya kemalangan dan bahaya kepada pengguna jalan raya?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Endau. Isu berkaitan haiwan ternakan yang dilepaskan merayau di kawasan jalan raya seperti dibangkitkan oleh Yang Berhormat Endau, sehingga kadang kala berlaku kemalangan kepada pengguna jalan raya adalah di bawah bidang kuasa atau tindakan Pihak Berkuasa Tempatan.

Untuk makluman Ahli Dewan, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor telah merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri berkenaan bidang kuasa pengurusan kes berkaitan kacau ganggu dan haiwan berkeliaran. Pandangan dan nasihat daripada pihak Penasihat Undang-Undang adalah seperti berikut, bidang kuasa pengurusan kes berkaitan kacau ganggu dan haiwan berkeliaran terletak di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan. Sekiranya haiwan berkenaan mula menjadi kacau ganggu kepada penduduk tidak kira di kawasan atau luar kawasan PBT, berdasarkan Seksyen 80, 81(b), 84 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) selaras dengan peruntukan Seksyen 2 Akta

tersebut. Merujuk kepada soalan Endau berkenaan tindakan pihak kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan selepas mendapat aduan boleh mendapat haiwan-haiwan berkeliaran tersebut dan mengeluarkan notis kepada pemilik haiwan yang berkenaan. Jika tiada pihak yang menuntut, maka pihak berkuasa tempatan boleh dan akan membuat hapus kira haiwan-haiwan berkenaan.

Walau bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Veterinar bersedia bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membendung isu ini terutama dari segi khidmat nasihat teknikal dan penyelarasan dengan penternak-penternak tersebut. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, ianya akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan berehat 20 minit dan disambung jam 11.20 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan bersambung semula pada jam 11.20 pagi.

Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023 Tahun 2022.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112(2), maka Perbahasan Atas Rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana tersebut dalam Rang Undang-Undang ini. Dimaklumkan bahawa tempoh Perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah selama 4 hari iaitu bermula hari ini 4 Disember hingga 7 Disember 2022. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi. Untuk pembahas pertama dan ketua pembangkang diberikan masa selama 40 minit, manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain diberikan masa 15 hingga 20 minit. Bagi membolehkan semua Ahli Yang Berhormat dapat berucap saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan.

Perbahasan Atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Yang Kedua Enakmen Perbekalan 2023 Tahun 2022 dimulakan Sekarang.

Speaker

Yang Berhormat Kukup dijemput.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah memberi saya ruang dan kesempatan untuk memulakan perbahasan Belanjawan Johor 2023 pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di atas kejayaan beliau membentangkan Belanjawan Johor 2023 lebih dari 2 jam pembentangan yang bersiaran langsung bersama rakyat Johor yang bertemakan, ‘Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat’.

Belanjawan yang dibentangkan ini adalah menggambarkan kerajaan negeri yang diterajui oleh Barisan Nasional yang sentiasa cakna kepada rakyat Bangsa Johor yang telah memilih sebuah kerajaan negeri yang stabil dan makmur. Bak kata bidalan Melayu, ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’. Setiap pemberian orang atau rakyat kepada pemimpin hendaklah dibalas dengan pemberian di mana sebagai tanda terima kasih kepada rakyat khususnya rakyat Bangsa Johor.

Belanjawan ini adalah kesungguhan kerajaan untuk membalas jasa rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional menerajui negeri Johor Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan kepimpinan negeri telah menggarap dan menyusun atur perancangan Belanjawan dengan penuh ketelitian dan menyeluruh agar tiada Bangsa Johor yang tertinggal atau untuk sama-sama bangkit menikmati kemajuan dan kemakmuran di negeri ini. Alhamdulillah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat dan barisan kepimpinan telah berjaya menyediakan Belanjawan Johor 2023 berdasarkan 6 Tema, 26 Strategi dan menawarkan sebanyak 110 Inisiatif bagi mengerak dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri agar dinikmati bersama kemakmuran yang ingin kita capai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita juga kena lihat bahawa pembangunan ekonomi negeri Johor ini juga perlu dilihat dengan pembangun ekonomi global yang akan mendatang ini kerana ekonomi global dijangkakan dalam keadaan kritikal untuk menghampiri kemelesetan selepas data inflasi menunjukkan peningkatan. Kadar faedah juga terus meningkat dan beban hutang terus melonjak di negara yang sedang membangun, ini petikan daripada Presiden Bank Dunia.

Kelembapan ekonomi dunia benar-benar menjejaskan negara-negara yang sedang membangun terutamanya golongan miskin di negara terbabit sekali gus memberi impak yang negatif. Isu inflasi, kenaikan kadar faedah dan penurunan aliran modal ke negara yang sedang membangun juga dijangka terjejas teruk. Inflasi yang tinggi menjejaskan kuasa beli dan simpanan rakyat. Inflasi di Malaysia secara keseluruhan dijangka berada antara 2.8% dan 3.3% pada tahun hadapan.

Perang Rusia – Ukraine yang mengancam rantaian bekalan makanan dunia termasuklah kepada kekurangan sumber penawaran tenaga khususnya di Eropah yang akan menjejas negara membangun khususnya. 3 isu utama global ini tidak boleh kita pandang sepi kerana isu global ini setidak-tidaknya akan menjejas prestasi ekonomi di negeri kita. Impak inilah yang kita harus berhati-hati ketika mengurus belanjawan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun hadapan.

3 isu utama ini seperti ketidaktentuan harga sumber tenaga khususnya petroleum dan gas asli. Pertumbuhan ekonomi yang rendah dan inflasi yang tinggi. Bagaimana ekonomi Johor 2023 ini kita bawa, ingin kita terajui bersama untuk mencapai status negara maju ataupun negeri maju. Pertumbuhan ekonomi perlu pada kadar 7% setahun seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor baru-baru ini.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka pada kadar 4% ke 5%. Namun, dengan kelembapan ekonomi dunia yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan 1.9% ke 3% mengikut unjuran Bank Dunia. Langkah proaktif perlu dibuat dengan memberi penekanan kepada aspek bukan ekonomi iaitu pembangunan modal manusia ataupun modal insan. Penyediaan infrastruktur berkelas dunia dan tadbir urus yang baik agar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Inilah yang telah dibentangkan secara teliti dan detail di dalam Belanjawan 2023 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor baru-baru ini.

Indikator negara maju di mana kesemua indikator ini perlu diberi perhatian seperti modal insan, ekonomi, tadbir urus dan infrastruktur. Itulah 6 tema yang dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagaimana ekonomi di negeri Johor akan diurus pada tahun hadapan. Kalau kita lihat berhubung dengan fokus kepada sektor desa khususnya industri makanan dengan menggemblengkan sumber daya kewangan, modal manusia dan infrastruktur yang ada di agensi seperti FELDA, memberi fokus kepada pembangunan generasi kedua agar terlibat dalam sektor yang dapat memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada generasi baru.

Kalau kita lihat 6 teras ini di dalam tadbir urus kerajaan. Saya ingin memberi ucapan tahniah dan syabas kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor yang telah diurus dengan baik dan Yang Amat Berhormat telah meletak beberapa strategi penting di dalam mengurus negeri dan juga meningkatkan kompetensi di kalangan para penjawat awam di negeri Johor. Banyak perkara yang kita lihat dan perlu juga ada beberapa inisiatif yang perlu diambil kira. Isu pertama yang ingin saya bawa ialah meningkatkan institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat. Pada hari ini, kita perlukan pelantikan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat yang masih belum dilantik ini perlu disegerakan. Kerana ini adalah penting apabila pelantikan ini telah dibuat secepat mungkin, ini sudah tentu akan memantapkan lagi pengurusan ekonomi dan pentadbiran di negeri Johor.

Saya juga ingin menjelaskan tentang berhubung dengan memperkasakan penjawat awam kerana setiap isu ekonomi yang ingin kita laksanakan mestilah ada orang yang menggerakkannya. Sebab itulah penjawat awam ini perlu diperkasakan supaya mereka lebih yakin dan boleh mengurus apa yang telah dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam Belanjawan. Tanpa kecekapan dari segi digital dan juga pengetahuan setiap penjawat awam itu, sudah tentu apa yang kita gariskan, apa yang telah dijelaskan di dalam 6 Tema ini sudah tentu sukar dicapai sekiranya penjawat awam tidak mengambil berat tentang perkara-perkara ini. Sebab itulah untuk memperkasakan penjawat awam dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dengan memperkasakan pendigitalan inilah yang kita perlukan. Dan banyak perkara dan usaha yang menarik perhatian kita apabila negeri Johor telah mula melaksanakan JohorPay dan juga perkara-perkara fast track untuk memastikan tidak ada ketirisan berlaku di dalam perkhidmatan. Dan juga Pegawai Daerah diperkasakan dengan memberi peruntukan yang sesuai dengan kedudukan mereka bagi membantu dan juga menyelesaikan masalah rakyat.

Di sini juga selain daripada memperkasakan penjawat awam, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor juga jangan terlepas pandang untuk memperkasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada hari ini. (Dewan bertepuk). Mungkin Yang Berhormat Datuk Speaker juga bersetuju kalau saya menyatakan bahawa kita mintalah supaya elaun Wakil Rakyat ini dikaji semula. (Dewan bertepuk) kerana setelah 7 tahun kedudukan elaun Wakil Rakyat ini tidak dilihat. Kalau penjawat-penjawat awam diperkasakan dengan penambahan peruntukan dan bajet, janganlah tertinggal Wakil Rakyat. (Dewan bertepuk).

Saya harap rakan-rakan Yang Berhormat di hadapan ini semenjak saya berada di dalam Dewan ini tidak pernah menyatakan tanda setuju. Tapi dengan isu hari ini saya berharap buat pertama kalinya rakan-rakan di blok hadapan ini boleh mengangkat tangan tanda bersetuju. Boleh? Oh, tak nak. Tak nak, tertinggal nanti.

Speaker

Gaji Menteri dikurangkan Yang Berhormat.

Speaker

Gaji Perdana Menteri dan Menteri dikurangkan.

Itu hanya statement sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Belum lagi dilaksanakan. Jadi kita berharap di Dewan yang mulia ini bagi memperkasakan kedudukan penjawat awam dan juga jangan ditinggalkan juga dengan kedudukan Wakil Rakyat kerana kita memainkan peranan yang sama untuk memastikan Belanjawan dan ekonomi negeri Johor ini terus bergerak ke depan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kepelbagaian geografi dan demografi Johor merupakan satu kelebihan yang perlu diberi perhatian. Menurut Banci 2020, generasi muda berumur dari 15 ke 40 tahun merangkumi 45.1% dari jumlah keseluruhan populasi 4.01 juta ini merupakan perkara penting dalam merangka strategi sumber tenaga manusia dan pembangunan ekonomi Johor. Di dalam kita memperkasakan sektor pelancongan, saya

amat bersetuju apabila sektor pelancongan ini diberi perhatian. Perkara yang perlu dinyatakan di dalam strategi ketiga iaitu memperkasakan industri pelancongan dengan membuat kerja-kerja softscape dan juga hardscape bagi pintu masuk utama negeri Johor.

Perlu juga saya ingin membawa perhatian kepada Dewan yang mulia ini jangan terlupa kepada mana-mana kawasan pelancongan yang berpotensi tinggi seperti, Tanjung Piai, Tanah Penghujung Benua Asia ini merupakan satu trademark ataupun tanda, mercu tanda bagi ekopelancongan di negeri Johor. Kawasan ini perlulah dimajukan dan perlu ada satu pintu gerbang yang sesuai kerana untuk jolokan Tanah Penghujung Benua Asia ini bukan mudah untuk kita peroleh.

Kita kena mengambil kesempatan ini supaya ianya terus dipertingkatkan. Di negeri Johor khususnya di daerah Pontian, banyak kluster-kluster ekonomi di dalam daerah Pontian ini perlu dipertingkatkan seperti ekopelancongan, aktiviti perikanan dan maritim, pembuatan ringan, pemprosesan makanan dan bahan binaan. Inilah antara salah satu daerah yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Johor.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memperuntukkan RM600,000.00 untuk membina surau, landskap dan juga tandas awam di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian. Inilah yang kita perlukan untuk memastikan pusat pelancongan ini terus berkembang dengan baik dan juga menarik perhatian ramai.

Satu isu yang ingin saya nyatakan di sini iaitu berhubung dengan Pulau Kukup. Ia juga merupakan salah satu ekopelancongan yang perlu diberi perhatian. Pulau Kukup lama ditutup sementara kerana urusan pembuatan jambatan dan sebagainya. Bagi saya masa yang diperuntukkan untuk menutup Pulau Kukup ini terlalu lama. Inilah yang kita nyatakan dari segi kecekapan kakitangan kita. Kita tidak mahu semenjak sempadan negara dibuka Pulau Kukup terus ditutup dan akhirnya kita bimbang para pelancong ini tidak dapat menikmati keindahan ekopelancongan.

Saya berharap pihak-pihak yang berwajib yang menguruskan pelancongan khususnya di Pulau Kukup ini ambil tindakan segera kerana kita ingin ke depan, kita ingin memajukan sektor pelancongan ini dan kita tidak mahu masyarakat lupa di mana letaknya Pulau Kukup dan apakah kelebihan-kelebihan yang ada di situ. Dan inilah penggemblengan tenaga antara kakitangan kita dan juga usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk memastikan usaha memajukan dan menaikkan lagi ekopelancongan di negeri Johor ini bertambah baik.

Saya juga difahamkan sebenarnya di Tanjung Piai juga mempunyai kemudahan tandas awam dan juga satu gerai untuk anak-anak tempatan menggunakan kawasan untuk menjual barang-barang kraf tangan dan sebagainya. Tetapi hasil daripada lawatan saya tiba-tiba dia menyatakan bahawa bangunan ini tidak lagi di selenggara oleh Taman Negara. Mereka mengeluarkan bangunan itu daripada tanggungjawab yang sepatutnya diselia oleh Taman Negara. Tandas awam sudah lama ditutup sehingga tumbuh pokok yang besar di dalam tandas dan tidak lagi digunakan.

Pembaziran seperti inilah yang perlu kita elakkan pada masa-masa yang akan datang, kerana setidak-tidaknya perkara ini juga menyumbang kepada pembangunan dan juga cara kita mengurus kewangan negeri dan inilah yang perlu kita elakkan. Bagi memastikan ekonomi kita terus berkembang maju dan bergerak ke depan kita perlu synergy dalam pembangunan ekonomi negeri Johor. Kita kena memperkasakan pusat sehenti One Stop Centre yang berteraskan kepada pemodenan teknologi pendigitalan dan kepakaran sumber manusia yang berkeupayaan tinggi.

Integrasi dalam mengabungkan dalam setiap agensi dalam pembangunan ekonomi khususnya di peringkat PBT amat penting, agar dapat memberi keyakinan kepada pemain

ekonomi untuk terus membuat pelaburan. Misalnya tempoh Kebenaran Merancang kerja bangunan perlu diuruskan secara efisien dan efektif. Dan kita berharap apakah model yang ditunjukkan di Kulai dan juga di Majlis Perbandaran Johor Bahru dapat diperluaskan pada setiap daerah kerana inilah sudah sampai masanya untuk kita berubah dan juga bersiap sedia untuk menghadapi ledakan ekonomi dan memastikan negeri Johor terus tercapai dan juga menikmati sebagai negeri maju pada 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan pelaburan yang berkualiti akan dapat dibuat sekiranya Johor mempunyai sistem pengurusan yang efisien dan synergy di peringkat daerah, negeri dan persekutuan. Apa juga pembangunan yang kita buat di negeri Johor berkaitan dengan perancangan dan perlaksanaan kita tidak boleh dipisahkan dengan kuasa kerajaan pusat. Sudah tentu di bawah kementerian-kementerian yang tertentu akan memastikan projek yang kita rancang boleh dilaksanakan di negeri Johor. Sebab itulah One Stop Centre ini perlu kita perkasakan kerana kita tidak mahu disebabkan kelambatan pihak PBT dan juga kelambatan pihak pusat untuk memberi kelulusan bagi kita merancang dan melaksanakan, kita akan tertinggal jauh ke belakang.

Sebab itulah saya berharapkan One Stop Centre ini perlu diperkasakan kerana inilah masalah utama yang kita hadapi selama ini apabila Kebenaran Merancang, kelulusan yang berkaitan dengan PBT negeri dan juga pusat tidak selari. Oleh itu bagi mencapai status Johor sebagai negeri maju pembangunan ekonomi mestilah selari dengan pembangunan sumber manusia, tadbir urus atau governance yang kukuh serta penyediaan infrastruktur yang bermutu tinggi perlu diberi penekanan dalam menjayakan bajet negeri Johor 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyarankan supaya apa juga yang kita rancang, apa juga perkara-perkara yang boleh kita bagi kepada rakyat ianya perlulah sampai ke akar umbi kerana rakyat kita menunggu dan menanti, kita jangan terberhenti hanya di Pejabat-pejabat Daerah, di tempat-tempat tertentu sahaja. Ianya perlu disebarluaskan sehingga ke kampung-kampung dan sehingga kepada akar umbi kita. Inilah yang kita dapati di dalam antara strategi-strategi dan inisiatif di dalam kita meningkatkan digitalize untuk mempastikan negara kita ini terus, negeri kita terus maju dengan pendigitalan.

Di dalam usaha kita untuk meningkatkan sumber Internet kita juga jangan lupa tentang luar bandar, kawasan-kawasan luar bandar terutamanya di kawasan-kawasan sekolah masih lagi tidak dapat menikmati perkembangan Internet yang sempurna. Banyak sesi pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Kita mengharapkan apa yang disarankan oleh Jabatan Agama Islam untuk meningkatkan kualiti Internet di masjid-masjid, di sekolah-sekolah agama harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita tidak mahu perkara yang telah diberi oleh pihak kerajaan yang telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan tidak dapat dinikmati oleh masyarakat pada hari ini.

Pendigitalan ini penting sebab itulah di dalam teras yang diletakkan semua teras bahawa jaringan perlulah ada kerana kita telah berubah daripada tradisional kepada online. Sebab itu kerajaan telah menggalakkan supaya kita mengurus perbelanjaan menerusi online. Pembayaran cukai secara online tetapi bagaimana kawasan-kawasan luar bandar, kawasan-kawasan kampung yang masih lagi belum mendapat perkhidmatan Internet yang secukupnya. Sebab itulah di dalam kita merancang untuk memastikan bahawa apa juga untuk membangunkan ekonomi negeri Johor pastikan ianya tidak ketinggalan orang-orang luar bandar dan juga penduduk kampung.

Di dalam teras yang keenam, saya juga ingin menyentuh isu Orang Muda Johor. Banyak usaha-usaha yang diberi perhatian untuk memajukan anak muda negeri Johor. Sebab itulah kita harus memastikan anak muda ini sebagai pemimpin masa hadapan. Bagaimana perlunya kita bentuk mereka ini. Mereka perlulah menjadi orang yang berkaliber. orang yang mempunyai jati diri yang kuat untuk menghadapi cabaran akan datang. Bukan saja dari segi

kemajuan tetapi pembangunan anak muda ini perlulah di seiring dengan pembangunan jiwa dan raga mereka.

Agama adalah merupakan faktor penting untuk memastikan anak muda Johor terus terpelihara. Kita tidak mahu orang muda yang bijak, orang muda yang pelbagai gaya dan juga kemajuan tetapi hanyalah melahirkan anak muda yang tidak ada pegangan, anak muda yang bebas dan anak muda yang meninggalkan agama. Inilah perkara-perkara yang kita risaukan, perkara yang kita bimbangkan untuk memajukan anak muda di negeri Johor ini. Dan saya mengharapkan supaya ada juga elemen-elemen dan juga inisiatif-inisiatif yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk memastikan anak muda ini dibangunkan dengan juga kekuatan dalaman mereka.

Dan hari ini kita cukup bangga apabila anak muda yang boleh membaca Al-Quran, menghafal berzanji dan juga boleh mengatur langkah mencari kehidupan dengan berpegang kepada asas-asas keagamaan. Inilah anak muda yang ingin kita lahirkan. Mereka seorang yang benar-benar untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Dunia telah berubah, sebab itu hari ini penyediaan kita untuk memastikan orang muda boleh diterima di dalam pelbagai peringkat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan dan juga perbahasan saya berkaitan dengan Belanjawan 2023 ini saya berharap apa yang telah diatur berdasarkan kepada 6 tema yang telah digerakkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan berbagai-bagai strategi dan inisiatif yang paling penting ialah bagaimana perkara ini nak dilaksanakan. Kita mengharapkan supaya pegawai-pegawai kerajaan yang telah diberi pelbagai inisiatif dan galakan untuk memastikan kerja-kerja ini dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa ada sekatan dan juga memastikan apa yang hendak diperolehi untuk memajukan negeri Johor terus terlaksana.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon menyokong. Terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Saya jemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Terima kasih Datuk Speaker, selamat pagi, salam sejahtera dan salam maju Johor kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk berucap dalam Mesyuarat Keempat Belanjawan 2023 Bagi Penggal Persidangan Pertama, Belanjawan Tahun 2023 Dewan Negeri Johor Ke-15 pada pagi yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Sidang Dewan yang mulia, sebelum saya meneruskan ucapan ini terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang sudi melakukan lawatan kerja rasmi ke kawasan saya pada 23 hari bulan 2022 dan juga 16 November 2022 yang lalu. Saya amat berterima kasih atas lawatan kerja tersebut, banyak permasalahan rakyat dapat diselesaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Saya sekali lagi mewakili rakyat di DUN Bekok khususnya dan Parlimen Labis amnya, kami rakyat di Parlimen Labis dan DUN Bekok berasa amat bangga dan berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk.

Kami rakyat di Parlimen Labis sentiasa mengharapkan agar Yang Amat Berhormat Datuk dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menerajui kerajaan negeri Johor agar terus gemilang dan terbilang di masa hadapan. Di sini saya ingin membawa beberapa perkara melibatkan kawasan DUN saya. Perkara pertama berkaitan dengan pusat pendidikan atau pengajian tinggi di kawasan DUN Bekok atau Parlimen Labis. Sebagaimana yang kita maklumkan bahawa sekiranya sesebuah kawasan itu terdapat pusat-pusat pengajian tinggi atau pusat-pusat latihan bertaraf kolej atau universiti ianya sedikit sebanyak akan

mempengaruhi landskap pembangunan atau ekonomi dalam sesebuah kawasan. Oleh itu, saya selaku Ahli Dewan Negeri Johor kawasan Bekok memohon perhatian dan pertimbangan kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor agar dapat memberi perhatian dan ruang kepada DUN Bekok atau Parlimen Labis supaya dapat didirikan pusat pengajian tinggi atau pusat-pusat latihan bertaraf kolej atau yang setaraf dengannya di kawasan kami.

Sebagaimana Yang Berhormat Datuk Speaker sedia dimaklumkan, bahawa di kawasan saya setakat hari ini masih belum mempunyai pusat-pusat pengajian tinggi kerajaan atau swasta mahupun yang bertaraf kolej yang di kawasan saya. Sekurang-kurangnya, dengan adanya pusat pengajian tinggi atau pusat pengajian bertaraf kolej di kawasan saya, dapat juga memberi kesan kepada pembangunan ekonomi di kawasan saya, di mana sekarang ini pembangunan di kawasan saya sangat perlahan kerana hanya mengharapkan sektor pertanian sahaja. Dengan adanya pusat-pusat pendidikan tinggi di kawasan saya akan berlaku bertambah penduduk dan aktiviti ekonomi setidak-tidak dapat memberikan harapan dan semangat baru kepada peniaga-peniaga dan pengusaha-pengusaha serta penduduk tempatan untuk menjadikan apa juga aktiviti ekonomi di Parlimen Labis. Dengan itu, saya mengharapkan kerajaan negeri Johor dapat mempertimbangkan hasrat saya mewakili rakyat di dalam Dewan Negeri Johor kawasan Bekok khususnya dalam Parlimen Labis amnya.

Perkara kedua, berkaitan tapak pelupusan sampah yang terletak di Jalan Maokil di dalam kawasan Majlis Daerah Labis. Sebagaimana sedia maklum, bahawa sekarang ini telah timbul masalah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil yang telah sekian lama mengusahakan kebun masing-masing sebelum tapak pelupusan sampah tersebut diwujudkan. Dalam hal ini, saya lebih memfokuskan agar pihak kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor supaya dapat mempertimbangkan semoga kelulusan atau kebenaran yang telah diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan luar dari Majlis Daerah Labis untuk membuang sampah di kawasan tersebut. Perkara ini telah saya bangkitkan atau bertanya dalam Dewan yang mulia ini mengenai bilakah kerajaan negeri Johor akan menarik balik kebenaran yang telah dikeluarkan oleh PBT luar dari kawasan Labis untuk membuang sampah di pusat pelupusan sampah di Jalan Maokil, Labis.

Saya mengharapkan agar pihak kerajaan negeri Johor dapat bertindak dengan segera kerana pekebun-pekebun kecil telah menampakkan rasa tidak puas hati kerana kesulitan yang mereka alami dengan wujudnya pusat pelupusan sampah di kawasan tersebut. Dan, saya mengharapkan kepada kerajaan negeri Johor dapat berbincang dengan syarikat konsesi tersebut bagi membaik pulih jalan yang semakin rosak teruk sehingga pekebun-pekebun kecil susah untuk mengeluarkan hasil pertanian untuk dipasarkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, seperkara lagi yang perlu saya bangkitkan dalam mesyuarat Dewan yang mulia ini adalah masalah liputan internet 4G yang sangat rendah di kawasan saya. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa ada beberapa kawasan penempatan yang berada di dalam kawasan bandar di Labis, Chaah dan Bekok mempunyai liputan 4G yang sangat rendah dan apa yang paling penting adalah masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli yang tinggal di Kampung Kurung, Kampung Tembayan, Kampung Kemelah dan Kampung Selai, Bekok di mana saya mengharapkan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor dan SKMM Negeri Johor agar dapat memberikan keutamaan agar masalah pencawang telekomunikasi yang terletak di Sekolah Kebangsaan Kurung diberikan utama.

Saya membawa perkara ini dalam mesyuarat Dewan yang mulia pada kali ini memandangkan perkara ini adalah masalah utama yang perlu diselesaikan dengan kadar yang segera kerana perkara ini telah berlarutan sekian lama dan masyarakat Orang Asli

menampakkan rasa kurang senang kerana masalah mereka diabaikan. Selalunya sekarang liputan internet amat penting dalam kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, setelah saya membuat tinjauan di kampung Orang Asli Bekok, semasa saya menghadiri program bersama mereka, saya terus menghubungi SKMM Johor bagi membangkitkan masalah liputan 4G di kawasan Bekok. Masyarakat di Kampung Kurung mengatakan bahawa perkhidmatan Nu Mix di Kampung Orang Asli Kurung tidak berfungsi dengan sempurna sedangkan mengikut laporan daripada SKMM Johor melalui rujukan surat bertarikh 6 November 2022, mengatakan bahawa Nu Mix Kurung 1 dan Kurung 2 beroperasi baik seperti biasa. Dan saya dimaklumkan bahawa projek JENDELA 10262 di Kampung Tembayan akan melibatkan coverage sejauh 1.5km radius dalam proses pembinaan.

Oleh yang demikian, saya mengharapkan supaya kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, SKMM dapat mengambil maklum dan tindakan segera bagi menyelesaikan masalah masyarakat Orang Asli di kawasan saya. Perkara ini amat penting untuk diselesaikan kerana mereka telah mula lantang bersuara agar masalah mereka dapat diselesaikan dengan kadar yang segera kerana penggunaan internet juga amat penting bagi masyarakat Orang Asli di kawasan saya.

Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan sidang Dewan yang mulia ini, bahawa semasa lawatan kerja Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bahawa Tok Batin Kampung Kurung telah memaklumkan perkara ini kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor agar masalah utama masyarakat Orang Asli di Bekok ini dapat prihatin daripada kerajaan negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, perkara keempat adalah masalah tekanan air, Ranhill SAJ di dalam kawasan DUN Bekok yang sangat rendah dan sering berlaku paip utama pecah disebabkan oleh usia paip yang telah lama dan mudah pecah bila menampung tekanan air yang tinggi bagi sesetengah kawasan di dalam DUN Bekok khususnya dan Parlimen Labis amnya. Perkara ini saya perlu bangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini akan masalah yang dihadapi oleh rakyat di dalam kawasan saya. Perkara ini sering berlaku di kawasan DUN Bekok terutamanya di kawasan Labis dan Chaah. Terima kasih kepada pihak Ranhill SAJ yang telah memaklumkan bahawa projek menaik taraf tangki air yang terletak berhampiran Sekolah Menengah Munsyi Ibrahim Labis akan dapat disiapkan dan berfungsi sepenuhnya pada bulan Mac tahun 2023 dan dikhuatiri pula akan berlaku banyak paip-paip lama akan pecah di sebab oleh tekanan air yang agak kuat dari tangki air tersebut. Oleh yang demikian, saya mengharapkan Kerajaan Negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infra dapat menimbangkan agar paip-paip lama diganti dengan paip-paip baru supaya ianya dapat menampung tekanan air yang tinggi setelah tangki-tangki yang menampung simpanan bersih siap sepenuh di kawasan Labis.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, paip juga sering pecah di kawasan saya disebabkan akibat kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor TM (Telekom Malaysia) yang menjalankan kerja-kerja menaik taraf Unifi di kawasan saya. Saya juga mengharapkan kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infra dapat memantau projek-projek yang dilakukan supaya akhirnya projek yang dilakukan tidak menjejaskan keselesaan penduduk dengan berlaku kesilapan kecil yang berlaku akibat tiada perbincangan di antara jabatan atau agensi yang mengurus infra penduduk dalam sesebuah kawasan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Bekok. Tadi Kukup cakap 29 minit, Bekok saya tengok 12 minit. So, mungkin Perling cakap 11 minit jelah. Tapi apa pun, Perling, 40 minit. Silakan.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selaku Ketua Pembangkang merangkap ADUN Perling, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk membahas Belanjawan 2023 yang baru dibentang oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan juga tahniah kepada beliau kerana telah menyampaikan ucapan belanjawan buat julung kalinya. Namun, saya berpendapat bahawa ucapan belanjawan ini kurang menyentuh keadaan politik baru yang sebenarnya boleh menjayakan belanjawan ini dan membuka lembaran baru demi pembangunan Johor. Juga, walaupun banyak inisiatif telah diumumkan, kerajaan negeri boleh melakukan yang lebih baik lagi dalam dengan memberikan tumpuan melalui iltizam politik yang tinggi terhadap isu-isu berikut:

1. Perubahan iklim dan banjir. 2. Perumahan. 3. Pelaburan dan Pekerjaan. 4. Pengangkutan awam 5. Greater Johor Bahru.

Saya memulakan dengan keadaan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada rakan saya Yang Berhormat Ahli Simpang Jeram yang telah menang di kawasan Parlimen Pulai dan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Ahli Benut yang telah menang di kawasan Parlimen Simpang Renggam.

Pakatan Harapan yang turut merangkumi Parti Muda merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang memberi sokongan padu bagi mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan di 15 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen di Johor. Seramai 825,182 orang pengundi Johor memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU yang ke-15 berbanding dengan hanya 367,525 orang pengundi yang memberi sokongan kepada Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Negeri. Terima kasih kepada semua pengundi Pakatan Harapan. PRU Ke-15 juga telah membuka lembaran baru di peringkat persekutuan. Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional telah bersama menubuh kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Ke-10, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerajaan Perpaduan ini dibentuk berasaskan persefahaman dan kerjasama di antara parti-parti yang bersaing dalam Pilihan raya Umum yang lalu. Ini memberi peluang unik kepada negara kita yang akan membolehkan kita kembali kepada landasan wasatiah dan masbok.

Persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan ini mampu bawa Malaysia menuju ke arah era baharu. Sehubung dengan ini, Pakatan Harapan yang komited serta bersikap terbuka mencadangkan kerjasama dengan kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan dalam usaha memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya terutamanya dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. Pada masa yang sama, Pakatan Harapan Johor menerima keputusan Pilihan raya Negeri pada bulan Mac lalu yang memberikan Barisan Nasional kekuatan majoriti 2/3 di dalam Dewan Negeri. Dengan itu, Pakatan Harapan tidak akan mencadang apa-apa perubahan dalam komposisi eksekutif kerajaan negeri.

Dengan mengambil kira keputusan PRU Ke-15 dan persefahaman yang membolehkan wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan, Pakatan Harapan dengan rendah diri mencadangkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dan kerajaan negeri agar memperkukuhkan kerjasama dwipartisan di antara kerajaan negeri dan pembangkang melalui sistem demokrasi Dewan Negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Ahli Benut dalam ucapan beliau selaku Menteri Besar pada tahun 2020 menggariskan peranan pembangkang sebagai rakan strategik kerajaan negeri. Saya setuju dan dengan saranan beliau dan saya harap semangat menerima pihak pembangkang sebagai rakan strategik boleh direalisasikan di semua peringkat di Johor.

Kerjasama di antara kerajaan negeri Johor dan pihak pembangkang boleh dilakukan melalui sistem dan mekanisme demokrasi di dalam Dewan terutamanya dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan di mana penyokong atau backbenchers kerajaan dan Ahli-Ahli Pembangkang duduk semeja untuk mencari penyelesaian kepada masalah rakyat. Semasa sidang DUN pada bulan Jun, saya telah mencadangkan supaya Jawatankuasa-Jawatankuasa berikut dipertimbangkan oleh Datuk Menteri Besar dan kerajaan negeri iaitu:

1. Jawatankuasa Pilihan Masalah Iklim Perancangan Bandar dan Luar Bandar.

2. Jawatankuasa Pilihan Kerjasama Johor – Singapura.

3. Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalism dan Kuasa Negeri.

4. Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kesejahteraan Bangsa Johor.

Saya difahamkan bahawa ada Jawatankuasa-Jawatankuasa yang telah ditubuh oleh Dewan yang mulia ini pada sesi bulan Jun belum lagi memulakan persidangan masing-masing. Saya harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat Datuk Speaker menegur bagi memastikan Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan bersidang dan memainkan fungsi yang ditetapkan sepenuhnya. Sebagai contoh, Jawatankuasa Pilihan Impak Pertambahan Pengundi harus dijadikan keutamaan dwipartisan di Dewan ini. Kawasan Perling mempunyai 101,263 pengundi manakala, kawasan Kota Iskandar sebuah kawasan yang diwakili Barisan Nasional mempunyai 116,415 pengundi.

Untuk memberikan perwakilan yang lebih berkesan kepada pengundi di Greater Johor Bahru, Jawatankuasa Pilihan yang telah diwujudkan harus bersidang dan memberi laporan kepada Dewan yang mulia ini pada sidang yang akan datang supaya tindakan boleh diambil secepat mungkin dan secara dwipartisan.

Persefahaman di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan juga boleh diwujudkan di peringkat Parlimen. Saya mencadang kepada Ahli Benut selaku Pengerusi Barisan Nasional Johor bahawa satu kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor ditubuhkan dengan penglibatan 24 Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Kaukus ini boleh dibantu oleh kerajaan negeri melalui taklimat dan maklumat supaya semua Ahli-Ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan kerajaan negeri Johor kepada kerajaan persekutuan.

Mekanisme ini akan membantu dan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh kerajaan persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor dan demi menjayakan belanjawan ini. Adalah diharapkan bahawa kerjasama dan persefahaman ini boleh merealisasikan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada sidang bulan Jun agar keseimbangan baharu di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diwujudkan dan pemusatan kuasa di peringkat pusat dikurangkan.

Saya harap ini boleh dilaksanakan supaya kita mewujudkan budaya baharu politik dalam suasana politik Pasca Pilihan raya Umum Ke-15. Saya juga ingin respons kepada cadangan Yang Berhormat Kukup berkenaan dengan kenaikan gaji. Biasanya kalau kenaikan gaji dicadangkan lebih baik dua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang duduk semeja untuk mencari penyelesaian dan titik persamaan dan akhirnya dibentang sebagai cadangan bersama. Saya tidak ada pendirian buat setakat ini tapi pandangan saya ialah

sekurang-kurangnya kita boleh mulai dengan memberikan peruntukan yang lebih tinggi kepada Ahli-Ahli Dewan supaya mereka boleh melantik Pegawai Penyelidik dan juga melantik pegawai-pegawai yang membantu Ahli-Ahli Dewan supaya mereka menguruskan kerja-kerja di Dewan dan juga kerja-kerja di kawasan.

Kita kurang menekankan peranan Ahli Dewan di peringkat Dewan kerana biasanya tumpuan hanya kepada kawasan tetapi peranan Ahli Dewan sebenarnya juga di Dewan bukan sahaja di Dewan tetapi juga di dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan. Dan saya harap kita boleh mula dengan perbincangan bagaimana kita tetapkan peruntukan untuk Pegawai Penyelidik kepada semua Ahli Dewan dan juga peruntukan untuk mengupah pegawai-pegawai di pejabat kawasan.

Saya juga ingin sentuh seperti yang saya cadang tadi 5 isu yang melibatkan pembentangan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Pertamanya, isu perubahan iklim dan banjir. Semasa sidang DUN bulan Jun, saya duduk mendengar semua ucapan semua Ahli Dewan Negeri. Seramai 40 Ahli Dewan Negeri berucap dan di antara 40 Dewan Negeri yang berucap saya masih ingat, 39 Ahli sentuh tentang isu banjir. Bermakna isu banjir tak kira banjir besar, banjir kilat sebenarnya ada kesan di hampir semua kawasan kita. Dan ini adalah common issue yang kita menghadapi bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara dan kita perlu penyelesaian baharu. Dalam Belanjawan 2023, diperuntukkan bahawa RM71 juta diberikan melalui JPS dan juga PBT bagi tujuan pengurusan banjir bagi kerja penggalian, mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran banjir. Sebanyak RM42 juta diperuntukkan kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran. Sebanyak RM700.000.00 diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilandai banjir.

Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan dan Datuk Menteri Besar bahawa memang ada peruntukan dan memang isu ini diambil berat. Tetapi pandangan kami ialah more has to be done. Kita perlukan lebih banyak usaha dan kita perlukan tumpuan dan iltizam politik kerajaan negeri supaya isu banjir diberikan keutamaan. Isu banjir bukan sahaja isu infrastruktur, memang kita cuba selesaikan dengan infrastruktur dengan pembinaan dan penggalian dan juga pembersihan kolam tetapi isu banjir melibatkan juga perubahan iklim. Satu isu yang kita belum ada penyelesaian secara holistik dan kita belum lagi ambil kira perubahan iklim di semua peringkat kerajaan kita. Isu ini juga melibatkan kebersihan. Saya masih ingat pada 2 Julai, Datuk Menteri Besar melancarkan program 100 hari untuk membersihkan Johor. Pendekatan ini betul dan saya ucap tahniah tetapi telah melebihi 100 hari. Nampaknya longkang atau parit ataupun tempat yang tidak bersih masih kekal tidak bersih. Saya harap Menteri Besar boleh mengkali gandakan usaha, hala tuju betul, tetapi usaha di peringkat PBT, usaha di semua peringkat nampaknya belum lagi bawa kesan yang diinginkan oleh Datuk Menteri Besar.

So, saya harap dalam 100 hari yang akan datang Datuk Menteri Besar boleh mengarah semua peringkat supaya longkang ataupun semua tempat yang tidak bersih dibersihkan dan menjayakan Johor yang lebih bersih dan ini juga akan bawa kesan positif untuk usaha kita mencegah banjir.

Kedua, isu perumahan. Memang ada banyak inisiatif yang telah diumum oleh Datuk Menteri Besar. Inisiatif yang diumumkan oleh Datuk Menteri Besar kebanyakan menjurus terhadap pemilikan rumah. Tapi soalan yang saya harap boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri ialah adakah semua rakyat perlu memilik rumah? Soalan ini penting, are we asking the right questions? Adakah kita cuba menyediakan rumah untuk pemilikan atau matlamat kita ialah untuk mewujudkan perumahan, perumahan ini boleh disewa. Memang ada program rent to own tetapi kebanyakan inisiatif yang telah diumumkan menjurus terhadap pemilikan.

So soalan ialah, di mana kita menghadapi masalah kadar faedah yang meningkat secara mendadak. Keadaan di mana pendapatan secara umum pendapatan rakyat rendah juga household debt yang sangat tinggi, household debt di antara rakyat Malaysia ialah melebihi 90% GTP atau KDNK. Dalam keadaan ini betapa banyak kita membina rumah untuk pemilikan tidak semestinya rakyat mampu memilik rumah. Dan ia akhirnya akan menghasil keadaan di mana kita ada guard dan guard di Johor memang serius. Ada banyak rumah yang tidak didiami walau pun ada yang telah dimiliki tetapi ada yang juga tidak dimiliki masih di tangan pemaju, tetapi ramai tidak ada rumah.

So something has to be done, something has to be done to match the two. Dan saya harap soalan ini, soalan adakah kita cuba menyelesai masalah dengan soalan yang betul. Atau pun mungkin soalan kita tidak begitu tepat dan kita memberi penyelesaian yang tidak semestinya tepat dan akan bawa kesan yang baik.

Ketiga, saya ingin sentuh isu tentang pelaburan dan pekerjaan dan secara amnya ketahanan ekonomi atau economic resilience. Seperti apa yang disebut oleh Yang Berhormat Kukup, ekonomi dunia dalam keadaan dilema atau pun cabaran yang besar, cabaran perang di Ukraine, cabaran inflasi di seluruh dunia, cabaran kadar faedah yang sangat tinggi, the era of low interest rate is over. Dan cabaran economic slow down di negara-negara maju.

Ini membawa kesan yang serius terhadap rakyat kita. Tapi juga ada keadaan yang boleh membantu kita, pelaburan masuk ke Johor dan masuk ke negara kita sangat tinggi pada tahun ini kerana sebab utama ialah shift atau pun perubahan pelaburan yang dulu yang memasuki negeri China sekarang ni mengelak atau pun divert dari negeri China ke Asia Tenggara.

Ini adalah kesempatan yang paling baik untuk kita semua dan saya harap kerajaan negeri boleh fikir dan ada strategi yang secara keseluruhan untuk meletakkan pekerjaan sebagai matlamat kita menarik pelaburan. Saya pernah sebut di Dewan ni dan saya harap ini boleh jadikan idea yang penting untuk kita. Kita bukan semata-matanya ingin menarik pelaburan. We are not try to get investment for investment sake. Tujuan atau matlamat kita dapat pelaburan asing atau pun pelaburan tempatan, ialah untuk mengujudkan pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Saya rasa ini penting kerana dalam minda kita tak kira pusat atau persekutuan atau di negeri kita sudah sampai satu tahap di mana we are getting investment for investment sake. We are not thinking about creating jobs. Kita wujudkan pelaburan dan akhirnya pelabur kata saya perlukan pekerja asing dan kita beri kebenaran untuk dapat pekerja asing. Rakyat kita jadi pekerja asing di Singapura, rakyat kita jadi pekerja asing di Australia, rakyat kita jadi pekerja asing di Cambodia. Ini adalah tidak keseimbangan yang kita perlu betulkan.

Asas atau matlamat kita mewujudkan pelaburan ialah untuk cipta atau wujudkan pekerjaan untuk orang tempatan. Bagaimana kita wujudkan pekerjaan untuk orang tempatan dan bukan mereka pergi kerja di Singapura ialah kita wujudkan pekerjaan yang akan memberi gaji dan upah 2/3 untuk berbanding dengan pekerjaan di Singapura. Tapi ini tidak boleh berlaku secara arbitrary. Dia perlukan shift atau perubahan model ekonomi kita. Model ekonomi kita masih bergantung kepada buruh. Kita perlu berubah dari kebergantungan terhadap buruh kebergantungan terhadap kemahiran.

We need to move from a labor-intensive economy to at least a skill base economy, a skill intensive economy. Shift atau perubahan ini sangat penting bukan mudah dan saya harap ini dijadikan asas pemikiran kerajaan negeri apabila kita fikirkan penerimaan pelaburan asing dan juga pewujudan pelaburan tempatan.

Keempat, isu pengangkutan awam. Di dalam belanjawan di bawah teras 4 Kemudahan Dan Keperluan Asas Strategi 2 Pengangkutan Awam Johor. Penambahbaikan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana bersedia untuk memperuntukkan RM28.7 juta untuk Bas Muafakat Johor bagi 72 laluan. Ini memang inisiatif yang baik dan saya harap kerajaan negeri boleh beri tumpuan terhadap pengangkutan awam dengan lebih banyak tumpuan dan mungkin lebih banyak peruntukan. Tapi kita bukan sekadar inginkan peruntukan yang lebih banyak. Yang penting ialah visi, visi kita dalam perancangan pengangkutan awam.

Saya minta Datuk Menteri Besar apabila menjawab kalau boleh memberikan pencerahan berkenaan dengan projek bus rapid di bawah IRDA projek LRT dan juga tahap projek RTS, tahap pelaksanaan projek RTS. Saya pernah berbincang dengan IRDA dan saya dimaklumkan idea BRT akhirnya ialah untuk mengalih model shift secara dengan kadar 15% iaitu 15% pengguna kereta dia akan shift atau berubah kepada mengguna pengangkutan awam, itu sasaran projek BRT IRDA dan diuruskan oleh IRDA. Dan jawapan ata pun respons saya semasa tu saya rasa this is too little. Kalau dalam 10 tahun lagi di sekitar Johor Bahru, Greater Johor Bahru kita masih hanya beralih 15% pengguna kereta atau motosikal kepada pengangkutan awam. That is very little.

Saya harap kerajaan negeri dan Datuk Menteri Besar boleh memikirkan bagaimana kita boleh sasarkan Greater Johor Bahru dalam 10 tahun, model shift kita sekurang-kurangnya 50% bermakna dalam 10 tahun Greater Johor Bahru 50% rakyat tidak lagi memerlukan pembelian kereta, tidak memerlukan lagi membeli motosikal. Mereka boleh guna pengangkutan awam dan mereka rela guna pengangkutan awam kerana pengangkutan awam akan jadi pilihan yang lebih baik. Ini nampaknya macam terlalu idealistic. Tetapi kita menyeberang ke Singapura, 70% rakyat guna pengangkutan awam dan saya harap ini boleh dijadikan visi Datuk Menteri Besar supaya dalam 10 tahun Greater Johor Bahru kita ada 50% model shift.

Tetapi pengangkutan awam bukan sahaja untuk Johor Bahru. Di kawasan-kawasan lain, di bandar-bandar lain, di Muar, di Kluang, di Segamat sebenarnya pengangkutan awam juga penting dan saya harap kerajaan negeri boleh jadikan ini satu tumpuan dan bukan sahaja tick the boxes. Jadi saya harap ini adalah tumpuan yang boleh diusahakan di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan bagi kerajaan persekutuan sebenarnya bil subsidi terlalu tinggi. Bil subsidi minyak terlalu tinggi, untuk jangka panjang lebih baik kita beri subsidi kepada pengangkutan awam daripada memberi subsidi minyak tetapi kita tidak boleh potong subsidi secara serta merta.

Kita perlu transition, kita perlu mengujudkan pengangkutan awam yang mencukupi supaya the bottom 50% boleh guna pengangkutan awam dan tidak perlu menggunakan kereta peribadi pada masa itu pada ketika itu kita boleh kurangkan subsidi minyak. So ini saya rasa usaha yang saya harap kerajaan negeri boleh mengambil kira dan memberikan tumpuan.

Akhirnya Greater Johor Bahru, konsep Greater Johor Bahru ini sangat baik dan saya ucapkan tahniah kepada Datuk Menteri Besar dan saya harap ini boleh dijadikan dengan kadar yang lebih cepat. Penyelarasan di antara PBT-PBT di bawah Greater Johor Bahru ini sangat penting. Inisiatif Johor Pay memang inisiatif yang bagus tapi saya tidak pasti adakah inisiatif Johor Pay juga merangkumi sistem parking kerana di Johor Bahru di bawah MBIP ada satu cara sistem parking, kupon parking atau pun e-Pay.

Di MBJB lain, kalau kita nak wujudkan Metropolitan Greater Johor Bahru sekurang-kurangnya parking has to be the same, kita perlu penyelarasan dari parking, bayaran parking sampai ke pengangkutan awam, perancangan bandar, perumahan, infrastruktur 5G, landskap, softscape memang kebersihan, budaya bandar, karakter bandar.

Kita perlu semua ni supaya menjayakan Greater Johor Bahru dan saya harap kerajaan negeri bersedia untuk melibatkan Wakil-Wakil Rakyat di Greater Johor Bahru supaya ini boleh jadi inisiatif yang membantu Greater Johor Bahru menjadi Greater Johor Bahru sebagai metropolitan kedua negara ini. Dan ini juga boleh dimaklumkan kepada mereka di kerajaan pusat di mana saya rasa pemikiran kerajaan pusat, apa ni tidak memberi tumpuan kepada Johor Bahru sebagai metropolitan dan kita perlukan pemikiran baru supaya menunjuk kepada kerajaan pusat dan kepada semua bahawa kejayaan Greater Johor Bahru akan membantu semua membantu ekonomi negara kita dan menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat untuk rakyat di Johor dan juga untuk rakyat di seluruh negara.

Dengan kata-kata tu saya ucapkan terima kasih dan saya harap kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang boleh masuk ke era baru dan dalam suasana politik baru dan kita boleh wujudkan sistem Dewan yang lebih demokratik yang lebih tidak begitu adversarial tetapi lebih bersifat kerjasama. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Perling. Dijemput Yang Berhormat Skudai.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan juga salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memulakan perbahasan kedua saya sebagai Ahli Dewan yang mulia ini dengan ucapan sekalung tahniah kepada rakan-rakan Ahli Dewan Negeri di dalam ini yang telah memenangi PRU Ke-15 dalam pertarungan demokrasi yang berlaku baru-baru ini. Dan diharapkan dengan kemenangan ini dapatlah sama-sama kita membantu mengangkat isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat pada peringkat federal agar manfaatnya dapat diterima serata Bangsa Johor.

Terbentuknya kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan diharapnya kita di Johor dapat bersama-sama mengambil kesempatan ini menolak tepi politik kepartian dan terus bersama-sama kerja dan berusaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat. Ini kerana rakyat di bawah masih ramai lagi yang sebenarnya bertatih untuk dia bangkit, untuk dia bangun daripada impak COVID yang melanda negara kita sebelum ini. Jadi, saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan EXCO yang bersikap profesional yang mana bekerjasama tanpa mengira parti untuk kepentingan rakyat. Dan, diharap juga sikap profesional ini dapat menjadi ikutan setiap jabatan dan juga agensi kerajaan yang lain supaya kita dapat bekerjasama memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Bangsa Johor.

Pada kali ini, saya dengan penuh rendah diri mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Dewan yang mulia pada hari ini dengan membawa suara rakyat kepada 3 titik tumpu:

1. Skudai Sejahtera. 2. Pemerkasaan Wanita dan juga Kesihatan Mental 3. Kebajikan dan Kesejahteraan Orang Asli.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, terlebih dahulu izinkan saya menyentuh dua isu kawasan Skudai yang mana menjadi rungutan di kawasan Skudai. Isu yang pertama adalah berkenaan dengan rungutan peniaga di kawasan Skudai berkenaan dengan parking yang mana kebanyakan, yang mana peniaga di kawasan Tunku Aminah di mana kereta-kereta pekerja yang bekerja di Singapura, parking di petak-petak parking berhadapan dengan kedai mereka dan dimaklumkan juga oleh peniaga di kawasan Skudai bahawa jualan ataupun perniagaan mereka sendiri makin merosot. Ini kerana pelanggan mencari alternatif untuk membeli barangan di kawasan lain. Ini disebabkan mereka yang bekerja ke Singapura menaiki bas akan parking di kawasan-kawasan ruang perniagaan dan ada kalanya melebihi tempoh 3 hari. Jadi, satu penguatkuasaan harus diambil untuk memastikan perkara ini tidak berlaku dan kawasan tapak parking di hadapan kedai juga dijadikan tempat meletak parking kenderaan mereka.

Dan, isu seterusnya bagi kawasan Skudai yang saya ingin sentuh adalah isu yang menjadi viral di dalam Facebook, bukan sahaja sekali malah berkali-kali. Ianya adalah isu berkenaan dengan flyover Impian Emas. Kalau masih ingat lagi pada sebelum ini sidang DUN yang lepas, saya juga telah menyentuh berkenaan isu tersebut. Dan, banyak aduan yang pejabat kami telah terima berkenaan dengan kemalangan yang berlaku di kawasan flyover Impian Emas tersebut sehingga menimbulkan kemarahan awam. Malang sekali sebenarnya pada bulan, awal bulan November yang lalu, suami kepada kakitangan di pusat khidmat saya ditimpa kemalangan di mana digilis di kawasan flyover tersebut ketika ingin pergi ke kerja menaiki motosikal dan beliau baru sahaja mendapat kerja akibat ketiadaan kerja ketika pandemik, diberhentikan kerja ketika pandemik, baru sahaja mendapat kerja, baru sempat bekerja selama seminggu tetapi kemalangan telah timpa kepada beliau. Dan, kini beliau tak dapat bekerja lagi untuk menyara keluarga. Saya sendiri telah menaiki motosikal, telah menaiki kereta Viva pergi lalu di kawasan flyover Impian Emas tersebut, jalannya tidak sekata dan seperti naik roller coaster. Jadi, adakah kita sebenarnya nak tunggu lebih ramai lagi isteri dan anak-anak kehilangan yang sumber pendapatan keluarga atau isteri kehilangan suami baru satu tindakan baik pulih kita nak ambil ataupun kita nak lakukan. Dan, bila kita sentuh berkenaan dengan tindakan baik pulih ni, bermaksud bukannya hanya menampal sementara, hanya menampal hingganya timbulkan satu jalan yang tidak rata, bukan yang itu yang kita nak. Tapi, kita nak satu pembaikpulihan yang apa ni, yang betul-betul dapat memastikan jalan tersebut dapat bertahan untuk satu tempoh masa yang lama dan tidak akan menimbulkan masalah pada pengguna jalan raya. Dan, itu yang penting.

Dan, seterusnya berkenaan dengan pemerkasaan wanita dan juga kesihatan mental. Dalam inisiatif kedua yang dibentangkan oleh Datuk Menteri Besar, saya sangat tertarik sebenarnya melihat peruntukan bagi kerja-kerja awalan untuk pembangunan Rumah Pesona Wanita sebagai pusat perlindungan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Dan, sebagai seorang yang banyak menerima kes keganasan rumah tangga dan membantu ramai mangsa wanita yang berada dalam kesulitan sejak dahulu, saya berharap Rumah Perlindungan Wanita ini dapat ditempatkan 3 zon di kawasan Johor iaitu Zon Utara, Zon Selatan dan juga Zon Tengah di Johor. Ini sebagai apa, sebagai akses untuk memudahkan wanita yang memerlukan bagi mendapat bantuan sebab contohnya takkanlah wanita daripada Mersing, daripada Kota Tinggi dia nak pergi ke kawasan Kluang, apa ni, kawasan yang lebih jauh daripada tu. Jadi, kalau akses tempat ini mudah, jadi mereka mudah untuk mendapatkan bantuan. Di mana saya sebenarnya pernah mendapat ataupun pernah berhadapan membantu wanita yang mencari tempat berlindung akibat dipukul suami sendiri dan ketika itu wanita tersebut bersama 3 orang anak. Setelah membantu membuat laporan Polis, beliau tak ada tempat untuk dituju.

Dan, proses untuk bawa wanita yang mengalami penderaan rumah tangga ini, masuk ke rumah kebajikan yang berdaftar bukan semudah ABC. Contohnya hari ini kita ada terima kes wanita apa ni, menjadi mangsa penderaan, kita bantu dia buat report, bukannya kita simply boleh bawa wanita tersebut untuk masuk ke mana-mana rumah kebajikan. Dari siang ke malam yang mana akhirnya saya terpaksa tempatkan wanita tersebut ke rumah saya sendiri dan 3 hari kemudian saya mendapat ihsan daripada satu rumah kebajikan yang mana rumah kebajikan bukan Melayu dia benarkan saya untuk tempatkan anak-anak wanita tersebut tetapi terpaksa dipisahkan anaknya buat sementara waktu kerana ibu tidak boleh duduk bersama anak-anak dan wanita tersebut mendapatkan pekerjaan, setelah sebulan baru dia boleh bawa apa ni, tinggal bersama anak beliau.

Dan, saya percaya ramai sebenarnya wanita dekat luar sana yang berhadapan masalah sebegini dan mereka perlukan bantuan rumah berteduh tetapi tiada tempat untuk mereka tuju. Dan, saya juga berpandangan bahawa rumah perlindungan juga harus berfungsi sebagai pusat yang menyediakan latihan kemahiran kepada mangsa yang berlindung supaya mereka berkemahiran dan boleh berdiri teguh berdikari untuk membina kehidupan

yang lebih baik kelak tanpa berharap ataupun bergantung kepada orang lain selain diri mereka sendiri. Jadi, pusat-pusat perlindungan sebegini seharusnya bergabung dan menjalankan kerjasama dan mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan yang lain bagi memperkasakan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Yang seterusnya adalah kesihatan mental pemangkin kesejahteraan hidup. Bila kita bicara soal kesihatan mental ini, ramai pandangan yang akan berlegar dalam pemikiran sesetengah orang ini adalah orang yang menghadapi masalah kesihatan mental ini mesti orang yang kusut masai pakaiannya, orang yang tidak teratur kehidupannya tetapi sebenarnya bukan. Kesihatan mental juga sebenarnya sama pentingnya dengan kesihatan fizikal kita. Dan, mental yang sihat membuat fikiran menjadi positif sehingga tubuh akan berfungsi dengan baik secara emosional, psikologi, sosial dan akan mempengaruhi kehidupan kita sebagai manusia. Dan, kesihatan mental yang terganggu akan mempengaruhi kondisi fizikal dan kualiti kehidupan seseorang. Dalam isu kesihatan mental, saya ingin menyebut berkenaan dengan inisiatif Datuk Menteri Besar berkenaan RM200,000.00 bagi perlaksanaan Program Intervensi Keluarga dan Komuniti Mind-X untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi dan juga mental. Kalau kita lihat sebelum ini ketika pandemik menular, Menteri Besar Johor yang lepas Datuk Hasni telah memperuntukkan RM1 juta bagi Program Mind-X ini, jadi saya mohon sekiranya boleh peruntukan terhadap kesihatan mental ini dinaikkan daripada RM200,000.00 ataupun sama dengan nilai, dikekalkan dengan nilai yang lepas. Kerana apa, situasi sebenarnya selepas pandemik ini lebih teruk. Yang mana mereka yang terjejas ketika pandemik bergelut dengan masalah kesihatan mental. Ramai yang tak mampu nak lari, nak keluar daripada masalah kesihatan mental tersebut.

Dan, untuk pengetahuan Dewan juga bukan orang dewasa sahaja ya yang bergelut yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental malah kanak-kanak juga bergelut dan menghadapi masalah kesihatan mental ini. Peningkatan berlaku disebabkan oleh ketika pandemik bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak ini menjadi mangsa. Ada antara kanak-kanak ini menjadi mangsa amarah ataupun tekanan ibu bapa di rumah. Ada kanak-kanak juga tertekan kerana tidak mampu menerima untuk dia belajar secara online dan saya juga ceritakan sedikit pengalaman di mana saya membantu bawa mangsa yang alami masalah kesihatan mental untuk ke hospital ketika di HSA, di wad psikologi, saya sendiri jumpa kanak-kanak berusia 15 tahun, sangat kecil dan beliau menghadapi masalah kesihatan mental.

Sidang Dewan sekalian, apa yang saya cakap ini bukannya cerita berdasarkan keratan akhbar tapi apa yang saya hadap setiap hari. Dahulu saya hanya di hidang, saya membaca data-data yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi melalui pemerhatian saya di Pusat Komuniti Skudai, ramai yang datang ke pejabat saya untuk mendapatkan bantuan adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental. Dan, ini adalah melalui pengesahan doktor itu sendiri dan perkara ini sangat serius dan kita tak boleh pandang remeh. Sebab, jika kita ingin mewujudkan persekitaran dan masyarakat yang sihat, yang sejahtera. penekanan aspek dan bantuan bagi kesihatan mental harus kita pertingkatkan.

Dan, atas inisiatif saya sendiri sebenarnya saya juga mengambil kursus ataupun bengkel tambahan bagi memahami isu kesihatan mental ini agar menjadi rakan sokongan bagi mereka yang datang ke pejabat saya. Mereka meraung, mereka menangis, mereka meluahkan apa yang terbuku dalam kehidupan mereka. Mereka yang mengalami masalah mental ini sebenarnya sihat, rajin malahan rajin daripada orang yang sihat daripada kita. Mereka mampu bekerja, mereka mampu membuat dua, tiga kerja untuk menampung masalah untuk menampung kehidupan mereka. Jadi, mereka ini hanya perlukan bantuan sokongan dan saya juga mencadangkan pada agar EXCO Wanita yang baik hati dan sentiasa terbuka menerima pandangan dapat mewujudkan sukarelawan-sukarelawan sokongan di setiap kawasan dengan cara menjalinkan kerjasama dengan pihak UTM, yang

mana UTM itu sendiri sebenarnya mempunyai Sekolah Pembangunan Manusia Dan Psikologi dan sering kali mengadakan bengkel. Jadi, bagi membantu mereka yang hadapi masalah kesihatan mental ini, pertama sekali apa yang harus dilakukan adalah kita harus buang jauh stigma masyarakat. Masyarakat di luar sana ada stigma yang negatif terhadap mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental. Jadi, nak buang stigma negatif ini, kumpulan sokongan harus diwujudkan di setiap kawasan dan isu kesihatan mental ini kita pandang remeh sebab apa kita tak nampak, kita kalau macam kencing manis kan, kalau dia sakit potong kaki, tetapi isu kesihatan mental ini adalah isu dalaman yang kita tak nampak, tak mestinya dia mental dia akan ada isu kesihatan mental dia akan menjerit, kadang-kadang dia diam, dia depressed, dia ada anxiety, dia ada kesihatan mental daripada segi tak boleh mengawal kemarahan mereka sendiri. Jadi mereka ini berperang dengan diri sendiri dan kita sebagai masyarakat yang sihat, harus bantu mereka.

Dan, isu yang terakhir adalah berkenaan dengan kebajikan dan kesejahteraan Orang Asli. Walau saya di kawasan Skudai, tetapi saya banyak meluangkan masa di beberapa kawasan 0rang Asli di Johor. Saya sering kali bergaul dan meluangkan masa bersama komuniti orang asli di beberapa kawasan. Duduk bersama mereka, mendalami dan memahami kehendak mereka. Komuniti Orang Asli ini adalah rasa mereka ini seperti dipinggirkan oleh arus pemodenan. Adalah salah dan tidak tepat untuk kita nyatakan bahawa Orang Asli dia tak nak ubah nasib mereka sendiri. Mereka mahu tetapi sebenarnya apa pilihan yang kita sediakan kepada mereka.

Dan, kerajaan negeri sebenarnya tak boleh hanya bergantung kepada JAKOA semata untuk menjaga kebajikan Orang Asli. Kerana apa, ramai anak Orang Asli yang saya lihat, yang saya berjumpa mereka sambung pelajaran sehingga ke menara gading. Dan, di Malaysia sendiri kalau kita lihat orang asli tidak dibenarkan untuk memungut hasil hutan seperti rotan, buluh, damar. Jadi hasil hutan yang dibenarkan untuk kegunaan hanyalah untuk kegunaan domestik bukan untuk dikomersialkan. Jadi, dengan hanya kerana mereka ambil rotan, seperti rotan dan damak untuk membuat hasil kraf untuk jual bagi kelangsungan hidup, mereka dikatakan musnahkan alam sekitar sedangkan tangan yang sebenarnya lebih teruk daripada itu membuat kemusnahan alam sekitar, membuat pembalakan hanya di pejam sebelah mata. Jadi, bila duduk di kampung Orang Asli terutamanya di kawasan Kampung Peta bagi memahami kehidupan dan budaya mereka, mengajar saya banyak perkara.

Antaranya adalah kesukaran untuk mereka mendapatkan liputan Internet di mana kalau kita lihat, saya difahamkan di bawah projek JENDELA, berkali-kali mereka datang ke kawasan tersebut, mereka dah ada satu kawasan yang di mana untuk membina menara TELCO di kawasan tersebut. Tetapi sehingga kini masih tidak lagi terbina dan difahamkan mempunyai masalah dengan Pejabat Tanah, urusan tanah. Jadi, di mana saya sendiri perlu tunggu 2 hari untuk receive message masuk. Kalau tak saya perlu pergi ke kawasan sungai yang mana dekat kawasan sungai itu ada satu pondok yang dibina, di situlah anak-anak Orang Asli duduk untuk belajar secara online ataupun yang paling susahnya saya kena pergi ke gerbang hadapan untuk mendapatkan line. Jadi, kita lihat, kita dalam keadaan dekat sini hidup senang, hidup selesa, bagai mana kita boleh pejam mata melihat mereka yang juga bangsa Johor itu sendiri terpaksa hidup dalam keadaan sedemikian? Dan eco-tourism, pelancongan budaya dan warisan sebenarnya sangat popular. Saya berkongsi di media sosial saya aktiviti saya di kampung Orang Asli untuk memahami budaya, melakukan aktiviti, memahami masakan mereka dan lain-lain. Ramai sebenarnya dekat luar sana sebenarnya sangat berminat dan mereka tanya sendiri kepada saya, mereka nak rasai pengalaman seperti tersebut.

Jadi, sebenarnya industri ini harus diketengahkan oleh kerajaan negeri, sedangkan ianya bukan sahaja boleh menambahkan sumber pendapatan ataupun tarikan negeri Johor tetapi juga ianya boleh menyediakan peluang pekerjaan untuk Orang Asli itu sendiri dan mereka ini sebenarnya berminat tetapi mereka ini harus dibantu untuk menghidupkan aktiviti pelancongan warisan yang mati ketika COVID, yang mana saya difahamkan, saya sendiri

melihat di kawasan Kampung Peta ini, maksudnya eco-tourism yang dibangunkan sangat cantik, sangat menarik, even pelancong luar negara pun nak ke situ tetapi semuanya mati akibat pandemik COVID dan bahagian pelancongan, kerajaan negeri harus untuk menghidupkan kembali industri ini.

Dan saya juga sebagai seorang yang masih belajar lagi dalam bidang pelancongan, saya sendiri dengan rendah hati sebenarnya menawarkan kerjasama secara percuma untuk kita sama-sama membantu mempertingkatkan pelancongan, budaya dan warisan di perkampungan Orang Asli sebagai langkah membantu mereka ini mendapatkan ataupun mencari sumber pendapatan. Dan kita kerap kali bertanya Orang Asli, Orang Asli tak nak berubah ke? Orang Asli tak nak berubah? Tetapi kita ini, kita sendiri yang kena memberi peluang membantu mereka untuk ubah. Walaupun susah, kalau kita lihatlah kenapa mereka tak boleh nak lebih ke depan? Sebab apa? Sebab, walaupun mereka susah, mereka tak layak untuk mendapat wang kebajikan disebabkan jumlah pendapatan isi rumah yang melebihi sepatutnya, walaupun mereka duduk berlainan keluarga. Dan kalau kita nak masuk ke Kampung Peta atau Punan itu juga mengambil masa yang sangat jauh, jadi sebagai contoh sumber pendapatan mereka yang menoreh getah RM2.30 sahaja per kilo.

Jadi, macam mana mereka nak membantu menguruskan keluarga dan elaun perjalanan anak-anak mereka hanyalah RM18.90 sebulan dan kalau saya percaya ada mungkin dekat sinilah, mungkin ada antara Ahli-Ahli Dewan sekalian yang tidak pernah sampai masuk ke Kampung Peta, masuk ke Kampung Punan melihat keadaan dan kesukaran mereka ini. Jadi, saya rasa kita sebagai mereka yang diberikan tanggungjawab untuk membela rakyat, kena harus bersama-sama ke depan membantu menawarkan satu insentif bagi mengeluarkan masyarakat Orang Asli ini yang juga Bangsa Johor sendiri agar mereka boleh terus hidup macam kita juga, seperti orang yang biasa ini. Dan kesimpulan saya, saya menggulung perbahasan pada hari ini dengan serangkap pantun, pergi ke sungai bersama Saleha, sungai keruh airnya tohor marilah kita menggembleng usaha, untuk manfaat Bangsa Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Skudai. Saya tengok YB Larkin khusyuk mendengar, banyak kali dia mengangguk, (Dewan ketawa).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan ke jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada 2.30 petang.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Sri Medan.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, (Doa). Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberi kepada Sri Medan untuk bersama-sama dalam sesi perbahasan pada Sidang Dewan kali ini. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker yang telah memberi peluang kepada Sri Medan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Sri Medan meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu Sri Medan ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 hari bulan November yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta kerabat Diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat agar dapat menaungi patik-patik semua dan juga Bangsa Johor sekaliannya. Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor di

atas kejayaan pasukan JDT menjuarai Piala Malaysia yang lalu. (Dewan bertepuk). Kejayaan JDT sebagai pasukan pertama menjulang 4 piala dalam semusim merupakan lakaran sejarah yang cukup luar biasa dan cukup gemilang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak lupa juga kejayaan berjaya dilakar oleh Kontinjen SUKMA Johor. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan juga kepada barisan kabinet yang baru sahaja diumumkan Jumaat yang lalu. Bila saya nak menyebut Yang Berhormat Datuk Speaker, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, saya kadang-kadang senyum sendiri, saya tak pernah menyokong beliau pun, ingat peristiwa 24 tahun yang lalu. Bila kejadian yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allah Taala menguji beliau dengan sebesar-besar ujian, Alhamdulillah hari ini telah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Yang Ke-10, (Dewan bertepuk). Kun fayakun, jadilah, maka jadilah. Sebab itu, dalam keadaan hari ini, kita semua kena reda apa yang telah berlaku dalam kemelut politik kita sebelum ini, Insya-Allah. Tidak lupa juga kepada 4 orang ahli kabinet. Sebelum itu terlupa saya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Fadzillah Jusoh yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang kedua. Bila sebut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ada kadang membaca satu peribahasa, mungkin pelantikan beliau ini sebelum ini, mungkin penuh dengan cabaran dan dugaan. Kadang-kadang kita sebagai manusia ini kita kena reda, seperti saya katakan sebelum ini bahawa apa yang berlaku ini sudah ketentuan Allah SWT. Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya, sekurus-kurus ikan pasti ada dagingnya, sebaik-baik orang pasti ada buruknya, seburuk-buruk orang pasti ada baiknya. Carilah yang baik dalam buruk orang, itulah akhlak kita. Carilah buruk dalam diri sendiri dan perbaikilah, itulah ikhlas namanya, (Dewan bertepuk). Tidak lupa juga kepada 4 orang ahli kabinet yang telah mewakili kawasan Parlimen dalam negeri Johor, saya kena sebut satu-persatu Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang pertama sekali, mantan Menteri Besar kita, Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, (Dewan bertepuk). Yang kedua, Yang Berhormat Datuk Seri Azalina Othman Said, (Dewan bertepuk). Yang ketiga, Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, (Dewan bertepuk). Saya tak pernah sehaluan dengan Salahuddin Ayub tetapi hari ini saya merakamkan ucapan tahniah daripada Sri Medan, (Dewan bertepuk). Dan yang keempat, Yang Berhormat Dr. Zaleha Mustafa. (Dewan bertepuk). Nama yang agak asing, tadi pun saya sempat bertanya dengan rakan-rakan saya daripada Mahkota, Datuk Samsol pun saya tanya, Parlimen apa? Dia kata Sekijang, tahniahlah. Jadi, 4 orang wakil Parlimen dalam kawasan negeri Johor telah dipilih menganggotai Kabinet Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan keputusan PRU yang lalu, beberapa perubahan landskap politik telah berlaku. Suka untuk saya tekankan di sini, di negeri Johor kita harus menggarap perubahan yang ada ini dengan cara kita sendiri iaitu cara Johor. Kita tidak perlu dipengaruhi dengan keputusan PRU sehingga kita dengan sewenang-wenangnya mengubah mandat yang telah diberi oleh rakyat negeri Johor kepada Barisan Nasional dalam PRN yang Ke-15 tempoh hari, (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, kenapa saya membangkitkan perkara ini? Kerana di dalam beberapa hari yang lalu, telah mula wujud cakap-cakap di luar sana yang menyuarakan bagaimana di negeri Johor dapat menterjemahkan kebersamaan Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan sama yang dilakukan di peringkat persekutuan. Tadi rakan saya daripada Skudai pun ada membangkitkan perkara yang sama. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, ada permintaan Pakatan Harapan Johor untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JPTD).

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengajak rakan-rakan Pakatan Harapan sama-sama melihat perbezaan kerajaan di negeri dan juga kerajaan di peringkat persekutuan. Bagaimana caranya ia ditubuh dan bila ianya diwujudkan?

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak adil jika kita samakan situasi kerajaan negeri Johor dengan kerajaan-kerajaan negeri seperti negeri Perak atau negeri Pahang yang wujud selepas PRU yang ke-15. Sedangkan kerajaan negeri Johor telah wujud melalui mandat rakyat melalui Pilihan raya Negeri yang lalu dan kerajaan telah tertubuh sebelum PRU yang ke-15 yang lalu. Oleh itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan kepada kepimpinan negeri, jika pun perubahan ingin dilakukan di negeri Johor, ianya haruslah bergantung kepada keputusan pilihan raya yang akan datang, bukan mandat yang ada hari ini. Kita perlu sama-sama menghormati keputusan Pilihan raya Negeri yang lalu, mandat untuk Barisan Nasional menubuhkan kerajaan negeri. Jalankan sahaja tanggungjawab yang diberikan dan teruskanlah amanah rakyat ini tanpa rasa ragu-ragu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, lagi pun apa yang saya lihat rakan-rakan Pakatan Harapan cukup selesa di sebelah sana. Sebelum ini mereka telah pun berjaya menjadi rakan strategik yang seperti diulang oleh Yang Berhormat Skudai sebentar tadi. Kepada kerajaan penggal yang lalu, mereka boleh bercakap, mereka boleh berhujah, mereka boleh berbahas di dalam Dewan yang mulia ini, tiada siapa pun yang menghalang. Kita boleh jadi rakan yang baik, kita boleh sama-sama membangunkan negeri Johor dan inilah sebenarnya Pembangkang yang telah kita ada di penggal yang lalu dan akhirnya Yang Berhormat Datuk Speaker, bila rakan-rakan YB Pakatan Harapan kekal berada di sebelah sana, secara tidak langsung demokrasi di negeri Johor akan dapat berfungsi dengan lebih baik dengan wujudnya Pembangkang yang lebih konstruktif. Sudah tentu percambahan idea dan pembentukan dasar akan menjadi lebih bermakna jika Pembangkang dapat mainkan peranan konstruktif mereka di dalam mahu pun di luar Dewan Negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun, saya sebagai ahli parti dan juga orang parti, saya akur, saya akan sentiasa menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti asalkan ianya dapat memperkukuhkan lagi parti Barisan Nasional dan yang paling penting Yang Berhormat Datuk Speaker, keputusan yang akan dibuat tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat dan mandat rakyat kepada kita semua. Sebagai ADUN kawasan Sri Medan, saya amat-amat berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga rakan-rakan daripada Pakatan Harapan perlulah akur dan menghormati keputusan Pilihan raya Negeri yang lalu dan jangan sesekali kita cuba untuk menafikannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya yakin, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini pun maklum rakyat Johor telah memberi sokongan lebih 2/3 kepada Barisan Nasional, ianya bukan majoriti mudah ataupun perlu penggabungan dengan mana-mana parti. Berilah sokongan kepada Barisan Nasional untuk menjalankan amanah yang telah diberikan sehingga tamat penggal PRN yang ke-15 ini. Tak lama pun, saya rasa tak sampai 1,800 hari, kalau nak kira minggu, saya rasa tak sampai pun 200 minggu, saya rasa rakan-rakan di sebelah sana boleh sabar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berbalik kepada soal Bajet 2023, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah membentangkan Bajet 2023 pada hari Khamis yang lalu. Secara keseluruhan, saya melihat Belanjawan Johor 2023 adalah belanjawan yang cukup berhemah. Selepas 2 tahun mencatatkan perbelanjaan defisit, kerajaan negeri berupaya merangka strategi untuk menjadikan belanjawan tahun hadapan pada kadar surplus tanpa meninggalkan program dan juga inisiatif penting untuk pembangunan negeri Johor.

Ada beberapa inisiatif dan program yang menarik perhatian saya dan suka untuk saya beri cadangan bagi tujuan penambahbaikan. Seperti contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, RM2 juta yang diperuntukkan untuk meningkatkan kepakaran penjawat awam Johor. Kita

semua percaya, bahawa penjawat awam merupakan tulang belakang kepada keberkesanan pentadbiran di negeri Johor. Jika mereka cekap dan jika mereka menjadi pakar dalam pelbagai bidang, maka dasar yang dilaksanakan juga akan menjadi lebih berkesan. Elok untuk saya sarankan di dalam Dewan yang mulia ini Yang Berhormat Datuk Speaker, jika RM6 juta ini dapat dikekalkan setiap tahun, atau dinaikkan jumlahnya mengikut keperluan semasa, berkat kepakaran dan pengkhususan penjawat awam perlulah dipelbagaikan. Bukan sahaja ditumpukan kepada hal ehwal tanah sahaja, atau pengurusan sahaja, tetapi kepada soal ekonomi, urban planning dan juga sebagainya.

Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hemat saya, Pengangkutan Awam Johor yang turut diberi perhatian khusus dalam Belanjawan Johor 2023 merupakan satu perkara yang cukup mustahak seperti yang dimaklumkan oleh rakan saya daripada Skudai sebentar tadi. Perling, minta maaf. Minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, Perling. Dengan kadar kependudukan yang tinggi di sekitar Bandaraya Johor Bahru, dan bandar raya-bandar raya sekitarnya, keperluan untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif perlulah diwujudkan dengan segera. Ini membolehkan rakyat Johor mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama mereka. Jika tidak, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar raya Johor Bahru, Pasir Gudang dan kawasan-kawasan yang berkependudukan tinggi yang lain akan berlarutan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan-kawasan luar bandar Johor juga memerlukan satu sistem pengangkutan alternatif yang membolehkan mereka bergerak ke kawasan-kawasan pekan dan bandar yang jauh antara satu sama lain. Saya fikir, dengan kepesatan Johor pada masa akan datang, pengangkutan awam adalah antara agenda terpenting bagi kerajaan negeri Johor. Kita akui Yang Berhormat Datuk Speaker, kos untuk membina dan menyelenggara satu sistem pengangkutan awam tidaklah murah. Maka satu mekanisme kewangan perlu dibentuk dengan kerjasama di antara kerajaan negeri, sektor swasta dan juga institusi perbankan perlu dirintis mulai sekarang.

Perkara seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya suka untuk menyentuh Orang Muda Johor ini, berkaitan tentang Orang Muda Johor, EXCO ada? Pada saya golongan belia di Johor perlu dididik dan didedahkan kepada proses demokrasi melalui kelas-kelas politik dan demokrasi. Pilihan Raya Umum yang Ke-15 merupakan pilihan raya umum pertama di mana anak-anak muda undi 18 telah mula mengundi. Yang Berhormat Datuk Speaker, walau apa pun pola pengundian anak muda yang lebih penting adalah bagaimana mereka memahami bahawa setiap keputusan mereka itu dapat menyumbang pada jatuh naik sebuah negara atau negeri. Pergi mengundi bukanlah satu perkara yang suka-suka, dan banyak pertimbangan yang perlu diambil sebelum mereka membuang undi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, suka ingin saya mencadangkan melalui kepimpinan belia Johor yang mengandungi 7 inisiatif, elok jika di selit satu dua program untuk mendidik belia-belia Johor tentang erti demokrasi. Lebih-lebih lagi keperluan mereka untuk memahami apakah demokrasi dan impak pilihan mereka dalam peti undi kepada masa depan negara dan juga negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri perbahasan saya kali ini, saya berpendapat jika negeri Johor ingin mencapai status negeri maju, perbelanjaan pembangunan perlulah bersasar dengan program-program yang berimpak tinggi. Saya percaya perbelanjaan pembangunan akan ditingkatkan pada tahun-tahun akan datang dan berupaya untuk membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersama rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, kita fikirkan dalam tempoh minggu perbahasan ini. Adakah belanjawan ini cukup untuk memberi sentuhan kepada mereka yang memerlukan? Mereka yang menjadi usahawan, mereka sebagai orang muda, mereka yang bertani dan termasuk mereka yang tinggal di luar bandar

dan juga di kawasan bandar. Apakah cukup bantuan untuk 2 hingga 500 orang dalam satu-satu bidang? Sedangkan rakyat negeri Johor adalah 3.8 juta yang mungkinnya jumlahnya sepatutnya lebih besar dari apa yang diumumkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya ingin memetik 4 faktor utama kepada ekonomi Johor, 4 faktor utama kenapa ekonomi Johor ini maju. Seperti yang diterangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, pertama adalah kedudukan politik yang stabil. Kedua, polisi mesra pelabur. Ketiga, pembukaan semula sempadan Johor – Singapura dan yang keempat sistem penyampaian awam Johor yang baik dan modal insan yang cekap.

Adalah harapan saya agar kita Ahli-Ahli Dewan Negeri dalam kapasiti politik ataupun kapasiti Wakil Rakyat dapat mempertahankan keempat-empat faktor ini dalam setiap tindakan kita. Saya percaya Yang Berhormat Datuk Speaker, muafakat membawa berkat. Itu mestilah bertujuan menjaga faktor-faktor ini, barulah negeri Johor boleh terus maju di masa hadapan. Di bawah pentadbiran Barisan Nasional ke, di bawah Pakatan Harapan ke atau apa-apa juga parti yang akan menerajui kerajaan dalam negeri Johor.

Terima kasih pada Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa masa masih ada. Saya beri masa lebih saya ini untuk rakan-rakan yang lain. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana memberi peluang kepada Sri Medan untuk bersama-sama dalam sesi perbahasan kali ini. Kalau untuk kawasan saya ada 2 saja perkara, Sri Medan dikenali dengan kawasan banjir. Yang kedua, kawasan yang kadang-kadang selalu tak ada air. Jadi dua jabatan yang mesti membantu kawasan Sri Medan adalah SAJ dan juga JPS. Jadi, semua pun maklum saya tak perlu nak ulang berulang-ulang kali cakap perkara yang sama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon menyokong. Sekian wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)

Speaker

Terima kasih Sri Medan. Lain kali jangan confuse ya, Perling dengan Skudai. Ini Skudai, Skudai, Skudai saya pun jadi confuse.

Minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Benut. Silakan.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Pertamanya saya mohon izin daripada rakan saya Yang Berhormat Sri Medan, bahawa mukadimah beliau menjadi sebahagian daripada perbahasan saya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan 2023 yang bertemakan, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”. Walaupun kita hari ini ada kerajaan yang dinamakan kerajaan perpaduan, kerajaan campuran, tetapi saya percaya bahawa bajet perlulah dilihat dan dibuat bertujuan untuk membantu rakyat. Dan, hanya boleh dilakukan bila kerajaan dapat merasakan denyut nadi rakyat di bawah. Memahami keperluan rakyat, menyedari akan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat, maka hari ini terbentuklah satu bajet yang begitu prihatin dengan apa yang dihadapi oleh rakyat yang ada di bawah. Jadi atas dasar itu, tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan yang telah bertungkus lumus menyediakan bajet bagi tahun 2023.

Sebelum saya pergi jauh, ada beberapa teras yang disentuh oleh Yang Amat Berhormat khususnya berkaitan dengan tadbir urus kerajaan. Satu daripada enam teras. Ada pepatah Cina yang mengatakan bahawa dengan izin Datuk Speaker, there are three kinds of person that you must not challenge, civil servant, customer, and widow. Tiga ni jangan kita kacau Yang Berhormat. Jadi, apa yang nak dibuat oleh kerajaan pada hari ini dengan

memperkukuhkan tadbir urus kerajaan ini adalah satu pendekatan yang amat tepat dan bersesuaian. Kompetensi pegawai kerajaan, pegawai perkhidmatan awam seperti mana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat yang ada mendapat sijil kedoktoran, ada yang dihantar ke Singapura oleh kerajaan Singapura untuk mendapatkan sijil sarjana adalah merupakan usaha-usaha yang perlu terus kita sokong sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam. Dan, strategi tersebut amat sesuai kerana ini Johor, Johor ramai daripada kita yang berucap di Dewan ini merasakan bahawa Johor ini begitu strategik negerinya.

Johor ini begitu hebat negerinya. Kenapa tidak Yang Berhormat Datuk Speaker? Kalau kita lihat daripada segi sudut pentadbiran ini, kita dapat melihat bahawa negeri Johor ini tak cukup dengan hanya ada satu sahaja pembangunan wilayah. Kita ada IRDA, tak cukup satu kita ada ECER. Walhal ECER itu sepatutnya hanya melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang mungkin, tetapi Mersing juga dilibatkan sama, kerana strategiknya negeri Johor, berpotensinya negeri Johor untuk menyumbang kepada kejayaan rancangan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. Selain daripada itu, tak cukup Segamat dan dimasukkan juga Segamat, tak cukup, Mersing, dimasukkan juga Segamat sebagai menguatkan lagi potensi dan juga kemampuan dan keupayaan untuk membangunkan program secara pembangunan wilayah. Tak cukup itu, bukan hanya kita ada IRDA, bukan hanya kita ECER, pembangunan segi tiga Indonesia, Malaysia, Thailand padahal di sebelah utara. Tetapi juga dimasukkan pantai barat Johor termasuklah daripada Muar, kawasan Yang Berhormat Datuk Speaker Batu Pahat dan kawasan saya di Pontian juga dimasukkan di dalam pembangunan segi tiga Indonesia, Malaysia, Thailand.

Saya masih ingat ada satu mesyuarat yang saya hadiri, sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar, yang memperkatakan tentang potensi yang ada kepada Pantai Barat Johor, memandangkan pembangunan di Kepulauan Sumatera itu begitu rancak membangun. Kita tak mahu hanya negeri seperti Sarawak sahaja yang meraih faedah daripada pembangunan yang berlaku di Kepulauan Riau ataupun di Kepulauan Sumatera. Pantai Barat Johor juga perlulah menikmati faedah.

Jadi daripada apa yang saya perkatakan ini, ianya memperlihatkan kita betapa perlunya kompetensi perkhidmatan awam itu diperkukuhkan. Jadi saya amat yakin dan percaya bahawa apabila kita menyentuh tentang soal mendedahkan pegawai kerajaan, our civil service JCS ini untuk meningkatkan keupayaan diri, ianya harus diperluaskan lagi. Tetapi dengan hanya kita hanya menumpukan kepada ketua-ketua jabatan sahaja, saya kira tidak mencukupi Yang Berhormat Datuk Speaker. Kenapa tidak kita juga melihat bahawa ketua kampung dan kita panggil lagi ketua kampung kenapa tak kita panggil dia Pegawai Kampung? Tetapi dengan hanya elaun RM500.00 kerajaan negeri bagi RM400.00 kerajaan pusat, RM900.00 sahaja elaun, Pegawai Kampung ini dia nak buat apa Yang Berhormat. Apa yang boleh dibuat dengan RM900.00 hari ini? Gaji minima paras kemiskinan pun RM1,500.00. Jadi saya kira, kalau kita boleh sanggup berbelanja begitu besar, kenapa tidak kita beri tumpuan agar kenaikan gaji ataupun elaun untuk ketua-ketua kampung, penghulu kita panggil dia Eksekutif Kawasan katakan. Jangan panggil penghulu, penghulu itu zaman dah berlalu, kita hendak kan pegawai-pegawai kerajaan ini dilihat menarik kepada masyarakat di luar sana, menarik kepada orang muda yang ada di luar sana. (Dewan bertepuk.) Kenapa tidak mereka ini menjadi eksekutif bagi satu-satu kawasan. Tetapi itulah dia, you pay peanut, you get monkey.

Yang Berhormat kita perlu setimpal kan elaun-elaun yang kita bagikan pada petugas-petugas awam ini. Jadi kalau ada lebih setelah kita naikkan elaun Ketua Kampung, setelah kita naikkan elaun penghulu-penghulu ini, bolehlah saya sokong cadangan Datuk apa nama Yang Berhormat Kukup ini supaya ADUN-ADUN ini naik elaun, dan lebih-lebih itu mungkin boleh timbangkanlah untuk elaun-elaun ADUN. Sebelum itu, saya kira ada lagi mereka yang saya kira seolah-olah seperti tertinggal dalam hal kita menjaga kebaikan pegawai-pegawai ataupun mereka-mereka yang bertugas. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita

dapat lihat perkara ini barulah betul, Johor ini sesungguhnya negeri yang dikatakan strategik, negeri yang dikatakan maju, penyumbang besar kepada pertumbuhan KDNK negara kita. Jadi setimpal dengan apa yang berlaku di negeri kita.

Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kita juga menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan dalam menyediakan satu jumlah peruntukan pembangunan yang besar sebanyak RM600 juta. Kita juga amat menghargai akan sumbangan besar pihak-pihak berkuasa tempatan, kita dapat melihat sebanyak RM550 juta disediakan untuk membangunkan program-program pembangunan di kawasan-kawasan PBT. Cuma saya mengharapkan agar kita tidak hanya menyusun, merangka program-program pembangunan tetapi juga yang pentingnya projek-projek tersebut kalau boleh siap mengikut jadual. Apa yang dah dirancang dapat disiapkan. Kalau projek-projek PBT ini tergendala, amat malang kerana ianya akan memberi kesan yang langsung kepada pemegang taruh, kepada masyarakat setempat. Maka RM550 juta ini yang dirancang untuk pembangunan melalui Pihak Berkuasa Tempatan adalah sesuatu yang amat diharapkan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat di bawah kerana saya percaya ianya akan mencakupi bukan hanya menaik taraf jalan-jalan PBT ataupun infrastruktur-infrastruktur di kawasan PBT tetapi juga, ianya juga dapat menyediakan banyak peluang-peluang perniagaan, dapat membuka ruang-ruang baru untuk memperindahkan kawasan-kawasan di negeri Johor ini yang amat-amat memerlukan. Jadi, itu adalah satu perkara yang saya percaya menjadi satu titik tolak dalam usaha kita untuk meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam termasuklah tadi, bila projek perlu disiapkan bagi, bahawa penyampaian kepada perkhidmatan yang responsif sebagai salah satu strategi yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat itu, tentulah insya-Allah akan menjadi kenyataan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras yang kedua yang disentuh oleh Yang Amat Berhormat ialah tentang pembangunan ekonomi. Bila kita ada IRDA, kita ada ECER, kita ada segi tiga IMT, seperkara lagi saya bersetuju dengan pandangan Ketua Pembangkang tadi bahawa elok kita ada satu fokus yang dapat dibentuk di peringkat Dewan Negeri ini sama ada dalam bentuk kerjasama antara semua Ahli-Ahli Dewan Negeri supaya kita dapat meraih sebanyak mungkin dengan adanya Ahli-Ahli Parlimen kita yang berada dalam Kabinet seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Sri Medan sebentar tadi. Jadi, kita bukan hanya dapat memantau, tetapi juga kita dapat memberi tumpuan. Saya memberi contoh satu perkara. RM510 juta dalam bajet yang belum diluluskan tahun itu adalah bertujuan untuk pelebaran Senai Utara pergi ke Pandan sepanjang 19 kilometer. Kemudian, lorong memotong di Lebuh raya Senai – Desaru sepanjang 10 kilometer sahaja di jajaran satu lorong itu dilebarkan dan kedua-dua projek ini menelan belanja RM510 juta.

Tetapi kalau kita di Johor ini melihat dengan hanya kita membuat pelebaran di Senai Utara di tol itu, nak pergi ke Pandan sahaja, saya rasa lebih baik kalau boleh dipanjangkan sedikit tak boleh ke Yang Berhormat sampai ke kawasan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke apa, bolehlah saya sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam tumpang tui sikit, ha lanjutkan sikit kita lebarkan lebuh raya yang ada. Nak sampai Sri Medan jauh sikitlah, apatah lagi nak sampai ke Semarang, jauh tapi sampai, sampai Simpang Renggam tu cukuplah. Simpang Renggam sampai ke Pandan ha, Kluang jauh lagi, atas lagi Yang Berhormat.

Ini peluang, masih ada lagi kita belum pun lagi membahaskan bajet. Saya percaya kerajaan yang ada pada hari ini akan melihat semula kepada perancangan belanjawan untuk 2023 dan kita harus merebut peluang. Saya percaya agensi-agensi yang terlibat bolehlah berbincang cara mana dan bagaimana kita dapat angle kan semula, hujahkan semula agar peruntukan RM510 juta itu tak sewajarnya untuk Johor, mungkin RM1 bilion, sesuailah sangat untuk Johor dengan sumbangan besar kita kepada KDNK negara kita. Jadi untuk itu saya percaya dengan ruang yang ada ni, perlu kita ambil peluang.

Selain daripada itu, bila kita bercakap soal negeri Johor yang strategik, kita ada contoh Yang Berhormat Datuk Speaker apabila pintu masuk yang sibuk di dunia, di Tambak Johor Yang

Amat Berhormat telah umumkan beberapa inisiatif untuk menambah baik ke negeri Johor ini, ke negara kita dengan pengenalan apa nama e-Gate dan sebagainya, penyantuman kolaborasi oleh agensi-agensi yang ada di Tambak Johor dapat ditambah baik bertujuan untuk memastikan kelancaran perjalanan pengangkutan yang ada menggunakan perkhidmatan Tambak Johor.

Selain daripada itu Yang Berhormat, kita ada Tambak Johor yang begitu menarik dari segi kemudahan yang disediakan. Kita juga ada Terminal Feri Desaru sebagai contoh, juga bertaraf antarabangsa. Kita perlu lebih banyak lagi pintu-pintu masuk yang bertaraf antarabangsa. Di sinilah cadangan Yang Berhormat Ketua Pembangkang itu tadi amat sesuai kerana perlunya ada kolaborasi dengan kementerian, dengan Kementerian Pengangkutan, kementerian yang berkaitan untuk mengambil kira keperluan pintu-pintu masuk kita ini. Dari Terminal Feri Kukup sebagai contoh Yang Berhormat daripada Kukup tentu boleh sependapat dengan saya seolah-olah pintu masuk untuk mereka-mereka yang berpendapatan rendah sahaja, sedangkan ianya salah satu daripada pintu masuk yang strategik, yang kita boleh menarik pelancong-pelancong yang datang ke negeri kita ini kalau boleh pelancong-pelancong yang berpendapatan middle to upper income, bukan middle to lower income. Di Johor sekarang betul kita berdepan dengan keadaan di mana peniaga-peniaga semua dapat kembali berniaga, tetapi hakikatnya tetap negara jiran kita yang datang, Singapura yang datang ke Johor ini adalah mereka ramainya terdiri daripada middle to lower income, kita nak middle to upper income. Ini yang perlu kita mempunyai infrastruktur, kita perlu mempunyai produk-produk yang dapat menarik pelancong yang kuasa membeli mereka jauh lebih baik, jauh lebih tinggi daripada apa yang ada pada hari ini kerana itu akan memberi satu kesan langsung kepada usaha untuk meningkatkan ekonomi negeri Johor.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita dah sentuh Terminal Feri Kukup, terminal feri di Pasir Gudang dan di sebelah Pengerang, di sebelah Kota Tinggi, saya percaya ini semua akan menjadi satu nilai tambah kepada kekuatan negeri Johor untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri kita.

Yang keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker, secara khususnya di dalam usaha untuk pembangunan ekonomi yang digariskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi, antara strategi yang disentuh adalah berkenaan dengan latihan kemahiran, pelancongan untuk memperkasakan industri makanan sebagai contoh. Saya tak dapat melihat secara holistik tetapi melihat kepada potensi di Johor ini sebagai pengeluar makanan utama negara kita, kita bercita-cita dalam Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk Johor menjadi food basket untuk negeri Johor dan juga kita menyumbang kepada jaminan bekalan makanan untuk negara.

Jadi untuk itu, perlulah ada usaha-usaha sokongan bagi menjayakan harapan tersebut. Antaranya Yang Berhormat, kalau boleh kita perhebatkan lagi usaha-usaha secara PPP, Private Public Partnership ini. Sebenarnya Simpang Renggam ni sebagai contoh adalah jauh lebih baik daripada Pagoh dari segi pembangunan yang dirancang di sana kerana ianya melibatkan private sector, Sime Darby, public sector nya kerajaan yang luluskan permohonan-permohonan pembangunan yang menarik lebih banyak. Bukanlah maknanya tak bagus Pagoh tu, tetapi di Simpang Renggam ini potensinya, Sime Darby juga ada kawasan-kawasan perladangan yang cukup menarik. Kenapa tidak dengan lokasi Kluang, ha, ni boleh masuk Kluang sekalilah, Kluang yang sentral dari segi kedudukannya juga kenapa tidak kita bangunkan attracting city.

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu penyumbang kepada kesesakan lebuh raya di utara selatan adalah sebagai contoh ialah apabila kenderaan lori-lori besar ini bila mereka menggunakan R&R untuk berehat, apabila penuh mereka meletakkan kenderaan-kenderaan besar ini, lori dan sebagainya di tepi-tepi lebuh raya. Itu sebenarnya penyumbang kepada kesesakan lebuh raya malah mengancam keselamatan kepada pengguna lebuh raya. Jadi

apabila sentral Johor di Kluang, di Simpang Renggam itu dapat dibangunkan attracting city ianya merupakan salah satu perkhidmatan untuk menyokong usaha kerajaan negeri dalam nak menjadikan Johor ini sebagai hab pengeluaran makanan, sebagai tarikan kepada usaha untuk menjayakan agropelancongan sebagai contoh kerana ianya perlu digandingkan sekali, saya kira, saya berpendapat dengan adanya sistem pengangkutan yang akan dapat menyokong pembangunan untuk menjadi Johor sebagai hab pengeluaran makanan dan juga sebagai usaha untuk menjayakan agropelancongan di sebelah sentral Johor ini.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau perkara-perkara yang ini seumpama itu dapat kita jayakan, saya amat yakin bahawa Johor akan berada jauh di hadapan berbanding dengan negeri-negeri lain. Saya tidak ingin sama-sama seperti rakan saya dari Sri Gading dengan kerajaan yang ada, saya pun keliru sama ada kerajaan yang ada ini kerajaan perpaduan ke, kerajaan campuran ke, saya pun tak pasti tetapi biarlah perkara itu diuruskan oleh pucuk pimpinan tetapi untuk kita di Johor ini, Yang Berhormat Datuk Speaker kita ada kelebihan kita.

Salah satu, akhir sekali Yang Berhormat ya, salah satu daripada hasrat saya ialah untuk melihat kerajaan melalui bajet yang dibentang pada kali ini, satu peruntukan pemudah cara perlu dikekalkan, perlu diteruskan. Kita ada dulu dalam Bajet 2022, facilitation fund kerana saya amat, amat menunggu-nunggu sebenarnya bagaimana, cara mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar ingin menstrukturkan semua Invest Johor kerana itu amat penting. Kita dah ada JETCO di Singapura, usaha untuk menstrukturkan semula, mengkorporatkan Invest Johor ini adalah satu langkah yang tepat tetapi peranannya setelah ianya distrukturkan semula, diperkukuhkan ianya harus seiring dengan peranan yang perlu mereka mainkan. Jadi untuk itu, sebagai peringkat permulaan facilitation fund perlu diadakan secukupnya. Saya mencadangkan dahulu sekurang-kurangnya RM10 juta disediakan untuk membolehkan penggerak-penggerak ekonomi negeri kita ini bukan hanya bergantung kepada MITI, dengan MATRADE, dengan MIDA semata-mata tetapi kekuatan kerajaan negeri itu sendiri untuk menarik pelaburan juga perlu ada. Jadi, untuk tujuan itu, facilitation fund inilah yang akan membantu pegawai kerajaan kita, membantu negeri kita untuk, sebab kita tak boleh opportunity don’t knock twice on your door, Yang Berhormat Datuk Speaker. Bila dia menawarkan kepada kita, kita harus sambut pada waktu dan ketika itulah apabila tawaran dibuat. Itulah peluang yang sepatutnya kita rebut dan untuk itu perlu ada satu peruntukan yang membolehkan kita untuk bergerak pada bila-bila masa tanpa membawa semula ke Dewan untuk diluluskan, tanpa memerlukan kelulusan yang terlalu tinggi dari segi keperluannya tetapi cukup sekadar kelulusan di peringkat EXCO kerajaan negeri.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, pada akhirnya saya ingin menyeru Ahli-Ahli Dewan semua untuk kita kekal fokus dalam memenuhi amanah dan kepercayaan rakyat yang diberikan kepada kita. Kita akan terus berikan sokongan dan dokongan kepada kerajaan negeri, kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan EXCO untuk menerajui negeri Johor. Belanjawan Johor 2023 sudah pun dibentang dan kini sedang dibahaskan oleh semua Ahli-Ahli Dewan. Semoga perbahasan dan lontaran idea kita ini dilakukan dengan konstruktif, demi kebaikan rakyat dan negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas peluang yang diberikan. Saya dengan ini turut menyokong Belanjawan 2023. (Dewan bertepuk). Sekian. terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Benut. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 3.25 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.00 petang.

Persidangan disambung semula pada 3.25 petang.

Yang Berhormat Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Perbahasan diteruskan, dijemput Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Salam Maju Johor. Jajaran mengkudu berbias kesuma, di celah angsana di tanah Jawa, ucapan aluan pembuka bicara, di Dewan mulia kita bersua.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas ruang dan peluang untuk sesi perbahasan di dalam Dewan yang mulia pada petang ini.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November 2022 yang lalu. Selepas negara menyaksikan Parlimen tergantung, yang mana tiada satu parti ataupun pakatan politik yang berjaya memperolehi majoriti mudah untuk membentuk sebuah kerajaan persekutuan. Tidak lupa juga ucapan tahniah dan syabas senada dan seirama daripada sama dengan Yang Berhormat Sri Medan ingin mengucapkan merangkap terima kasih kepada Presiden UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Badan Barisan Nasional, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia 1 serta barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan Malaysia dan dengan berakhirnya pelantikan jemaah menteri ini, diharapkan mereka dapat bekerja bersungguh-sungguh demi kemakmuran negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, sebagai anak jati negeri Johor yang cintakan tanah Johor ini, mengharapkan kerajaan perpaduan yang telah terbentuk ini dapat meneruskan usaha-usaha untuk memperjuangkan dan jangan lupa tentang tuntutan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh demi kedaulatan Bangsa Johor. Saya ulang, perjuangan tuntutan Malaysia terhadap Batu Puteh perlu diteruskan demi kedaulatan bangsa Malaysia dan juga Bangsa Johor. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Timbalan Speaker, patik juga menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di atas kebijaksanaan Baginda Tuanku dapat menyelesaikan kemelut politik ini bersama dengan Tuanku Raja-Raja Melayu melalui mesyuarah dan pertimbangan tertentu demi kemaslahatan ummah dan rakyat Malaysia dalam konteks kemajmukan negara bangsa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berdasarkan kejadian ini, jelaslah bahawa kestabilan dan kemakmuran politik negeri menjamin keutuhan dan kekuatan ekonomi sebuah negeri atau negara. Perkara ini diabsahkan dengan negeri Johor telah berjaya memperolehi nilai pelaburan tertinggi dalam negara iaitu sebanyak RM60.9 bilion pada separuh pertama tahun 2022. Dengan kadar pertumbuhan KDNK negara yang dijangka sederhana iaitu sekitar 4% hingga 5% pada tahun 2023, saya yakin Johor di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi dapat mencapai peratus kadar pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih tinggi dan kadar pertumbuhan KDNK negara dengan tema, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”, insya-Allah.

Saya berpandangan demikian adalah kerana faktor tersebut disumbangkan oleh beberapa aspek negeri Johor seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Sri Medan tadi iaitu pertamanya ialah keadaan politik negara, negeri Johor yang sendiri yang stabil, polisi kerajaan negeri yang mesra pelabur, pembukaan semula sempadan antara Johor – Singapura dan penambahbaikan sistem penyampaian awam. Dengan suntikan dana sebanyak RM1,734.18 juta dan perbelanjaan sebanyak RM1,731.74 juta dan lebihan

sebanyak RM2.44 juta ternyata ekonomi negeri ini berada dalam keadaan stabil dan sihat. Kadar pengangguran yang dapat diturunkan kepada 2.5% dan pada suku ketiga tahun 2022 berbanding tahun 2021 iaitu 4% mencerminkan Johor sedang berada di dalam landasan yang betul, fasa pemulihan COVID-19.

Patik dan sekalian warga DUN Sungai Balang juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor serta kerabat Diraja di atas kurniaan sumbangan keluarga Diraja sebanyak RM123 juta kepada Bangsa Johor yang sudah tentunya menjadi penyuntik pertumbuhan ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada 1.6 juta kepada rakyat Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, secara keseluruhannya belanjawan ini saya lihat sebagai belanjawan yang meliputi aspek dan lapisan masyarakat Bangsa Johor yang terdiri daripada 3.8 juta penduduk. Berdasarkan 6 teras utama segmen Belanjawan 2023 ini, adalah bukti bahawa kerajaan Johor sedia menjadi the economic power house, dengan izin, dalam negara dan dengan penyediaan pelan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi situasi ekonomi yang mencabar pada tahun 2023. Berbekalkan urus tadbir kerajaan yang cekap, Johor bakal sebuah negeri maju berdasarkan acuan Bangsa Johor. Bukan sahaja mempunyai sebuah kerajaan yang mantap dan stabil tetapi juga mempunyai seorang Menteri Besar yang mempunyai sahsiah diri yang baik dan mengamalkan ajaran agama. Saya mengucapkan syabas kepada Yang Berhormat Datuk Menteri Besar kerana memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran tempoh hari iaitu Surah Yusof yang mempunyai pengajaran dan kitaran ekonomi yang ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Balang yang terletak di kawasan luar bandar, sememangnya menyambut baik usaha kerajaan Johor untuk menyediakan perbelanjaan berjumlah RM500,000.00 bagi tujuan mengadakan kursus jangka pendek kepada ketua-ketua kampung dan ketua-ketua masyarakat tentang hal ehwal tadbir urus, kewangan, tanggungjawab serta protokol Majlis Raja dan komunikasi yang berkesan. Hal ini perlu didedahkan kepada mereka kerana mereka adalah merupakan duta kecil kerajaan yang menjalankan tugas-tugas penyampaian maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat awam. Justeru, dengan peningkatan skill dan kemahiran, pengetahuan pentadbiran yang ditimba oleh ketua kampung dan ketua masyarakat ini kelak, bayaran elaun mereka perlu dipertimbangkan seperti mana yang disebut juga oleh Yang Berhormat Benut tentang untuk menaikkan tangga gaji minimum yang berjumlah RM1,500.00. Tidak lupa juga saya mencadangkan untuk gred tangga gaji Penghulu Mukim dikaji semula, yang mana kini ia hanya mencapai kadar tertinggi, Gred NP40. Bagi sesetengah mukim yang mempunyai ijazah sarjana muda dan juga sarjana mungkin tidak dapat menikmati tangga gaji yang lebih baik berbanding dengan kelulusan yang mereka punyai.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga tertarik dengan usaha Rejuvenasi Perumahan Johor seperti yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada Disember 2022 yang lalu, yang mana pihak kerajaan bertekad untuk mengurangkan karenah birokrasi pentadbiran berkenaan untuk tempoh permohonan perumahan iaitu daripada 99 hari kepada hanya 45 hari. Perkara ini sememangnya menjadi rungutan para pemohon dan juga rakyat di luar sana kerana terpaksa menunggu jawapan yang terlalu lama akan permohonan mereka. Justeru itu, dengan langkah memendekkan tempoh kelulusan ini, ia akan dapat memberikan kelegaan kepada pemohon perumahan yang menunggu dengan penuh harapan. Bercakap mengenai hal ehwal perumahan rakyat, saya konsisten dan mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan fokus kepada kawasan DUN Sri Balang untuk tujuan pembinaan Rumah Mampu Milik kepada rakyat kawasan luar bandar. Hal ini demikian kerana permintaan Rumah Mampu Milik tersebut

adalah begitu tinggi dalam kalangan rakyat di kawasan luar bandar. Kawasan yang bersesuaian untuk projek pembinaan Rumah Mampu Milik Johor ini juga telah dikenal pasti dalam kawasan DUN Sungai Balang. Perkara ini adalah disebabkan faktor golongan muda dan belia yang telah berkahwin serta berkeluarga mahu membina kehidupan sendiri tanpa bergantung harap kepada ibu bapa mereka tentang aspek tempat tinggal.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah memberi baucar RM1,000.00 kepada pemilik Rumah Mampu Milik Johor semasa proses serah kunci kepada mereka yang membeli rumah di bawah skim tersebut. Dengan peningkatan pertumbuhan sektor pembinaan sebanyak RM5.68 bilion pada tahun 2022 berbanding RM5.15 bilion pada tahun 2021, saya yakin dan positif usaha pembinaan Rumah Mampu Milik oleh kerajaan negeri ini dapat dipertingkatkan dan diluaskan ke kawasan luar bandar yang sememangnya mendapat permintaan yang tinggi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Islam merupakan agama rasmi bagi negeri Johor yang telah diwartakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada tahun 1895 Dalam Fasal 57 dan bermazhab Shafie dan berfahaman Sunnah Waljamaah. Negeri Johor juga bersifat amat unik kerana mempunyai sekolah agama sendiri yang mana pertubuhannya telah dititah oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar pada tahun 1918. Kini dalam Belanjawan 2023, kerajaan Johor berhasrat untuk mendigitalkan Sekolah Agama Kerajaan Johor melalui usaha pemasangan peranti Wifi di 140 buah SAKJ dengan jumlah peruntukan sebanyak RM400,000.00. Sememangnya perkara ini amat perlu, tambahan pula dalam era milenium ini, urusan pentadbiran sebuah jabatan dan organisasi sangat bergantung kepada jaringan Internet sebagai medium ketersambungan antara satu sama lain. Semoga dalam belanjawan tahun mendatang, pihak kerajaan dapat menambah bilangan Wifi di SAKJ ini yang masih belum mendapat manfaat tersebut kesemua Sekolah Agama Kerajaan Johor dan dapat dipasang peranti Wifi demi kemudahan kepada para guru dan juga pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bercakap soal Internet dan liputan TELCO, Sungai Balang masih mengalami liputan yang lemah dan kurang stabil. Sebilangan masih dan menyukarkan rakyat di Sungai Balang untuk mengakses Internet walau pun panggilan telefon yang terganggu. Oleh yang demikian, pihak kerajaan dan pihak TELCO menyediakan rangkaian, perlu bertemu dan berbincang untuk mencari kaedah, solusi akan permasalahan tersebut dan melalui Pelan JENDELA yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri KKOM sebelum ini. Sesungguhnya besarlah harapan rakyat Sungai Balang untuk mendapatkan akses jaringan Internet dan liputan rangkaian telefon yang lebih baik dan berkualiti.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pokok kemang tumbuh sekata, rumput keladi ubi berisi, kaedah tanaman telah tercipta, pokok padi terima inovasi. Berdasarkan pada pantun saya ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, DUN Sungai Balang mempunyai kawasan sawah yang berkeluasan 364.22 hektar, dengan 412 orang pesawah yang mengusahakan tanaman padi dan merupakan kawasan padi yang kedua terbesar di negeri Johor. Estet sawah ini menjadi salah satu penyumbang dalam usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan makanan negara ini tercapai dan kemandirian penghasilan bekalan makanan ini bagi rakyat tanpa bergantung harap terhadap import makanan khususnya.

Pihak UTHM dan UPM telah menjalankan kerja-kerja kajian dalam penyelidikan bagi maksud meningkatkan hasil dan rintangan terhadap penyakit pokok padi yang akan memberikan manfaat kepada pesawah. Dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta, Belanjawan 2023 dalam inisiatif pembangunan industri tanaman utama dan komuniti berpotensi saya berharap agar kawasan sawah Sungai Balang ini dapat diberikan tumpuan utama aliran perdana bagi meningkatkan lagi aspek kajian R&D dan pembangunan fizikal kawasan sawah tersebut. Penggunaan teknologi humid acid ini dengan izin, dijangka dapat

meningkatkan hasil pengeluaran padi oleh para pesawah dengan peningkatan tahap kesuburan tanah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selain daripada tanaman padi, Sungai Balang juga mempunyai tanaman kontan lain seperti nanas, pisang, ubi dan lain-lain lagi yang memerlukan perhatian dan peruntukan bagi membantu para pengusaha tanaman menambah jumlah hasilan pengeluaran bagi menampung permintaan yang tinggi di pasaran. Hal ini bagi merealisasikan usaha ke arah food basket sepertimana yang disebut Yang Berhormat Sri Medan kepada Malaysia ataupun food bank kepada negara serantau, namun begitu pihak kerajaan perlu memandang serius isu kenaikan harga barang input seperti racun, baja dan peralatan pertanian yang membebankan para petani.

Tidak lupa juga, Sungai Balang mempunyai industri ternakan kupang yang termasuk di dalam industri perikanan tempatan. Inisiatif keenam Belanjawan 2023 menyasarkan penggabungan pembangunan industri perikanan dan akuakultur tempatan dengan peruntukan sebanyak RM600,000.00 bagi meningkatkan usaha hasil perikanan dan RM200,000.00 bagi pembangunan produktiviti estet kerang-kerangan negeri Johor. Di harapkan pengeluaran hasil tuaian kupang tersebut dapat dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan permintaan yang semakin meningkat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga mencadangkan supaya usaha pengusaha kupang di Sungai Balang diberikan pendedahan tentang proses produk sejuk beku kupang agar ia dapat dipasarkan ke seluruh negara mahupun luar negara. Secara tidak langsung, pendapatan dan taraf hidup para pengusaha kupang tersebut dapat ditingkatkan. Nadi ekonomi rakyat di DUN Sungai Balang juga adalah meliputi perusahaan produk-produk industri makanan dan asas tani yang diusahakan secara skala kecil dan sederhana di kampung-kampung yang terdiri daripada perusahaan membuat kerepek, kuih sejuk beku, keropok lekor, mi siput, gula masak dan sebagainya. Melalui pembangunan program ekonomi setempat dan Belanjawan 2023 ini, diharapkan pihak kerajaan negeri dapat menyalurkan peruntukan yang berjumlah RM1 juta kepada perusahaan ini agar dapat dirasai manfaatnya oleh para pengusaha di samping dapat memperbesarkan saiz perniagaan mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga mengharap dan menyeru kepada EXCO yang berkaitan agar dapat memberikan perhatian dan tumpuan kepada usaha menaikkan sektor industri makanan asas tani ini supaya ia akan dapat berdaya saing di dalam pasaran terbuka seperti mana kejayaan pihak kerajaan negara Thailand yang berpaksikan industri IET mereka yang berjaya menjadikan hasil mereka ini adalah merupakan satu pendapatan yang sangat dinamik bagi negara tersebut.

Dengan peruntukan RM4.2 juta kepada Jabatan Perparitan. Kita juga mengharapkan pada tahun 2023 ini, kawasan yang saya sebutkan tadi agar dapat diberi tindakan yang sewajarnya yang kita tahu bahawasanya ada sesetengah tempat di kawasan tempat saya adalah merupakan kawasan tanah rendah di mana kita menghadapi masalah banjir kilat dan juga pecahan ombak yang mengakibatkan kerosakan penghakisan pantai di sekitar pantai di DUN Sungai Balang. Selain itu juga, pantai-pantai di kawasan Sungai Balang mengalami hakisan yang agak kritikal. Yang saya sebutkan seperti di Pantai Parit Penyengat, Pantai Seri Menanti dan Pantai Tanjung Tohor.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, perubahan fizikal pantai-pantai tersebut adalah sangat membimbangkan. Ditambah pula dengan keadaan laut yang sering bergelora akibat perubahan cuaca yang tidak menentu kini. Perkara ini telah menjadi keresahan penduduk di kawasan tersebut di mana rumah mereka yang terletak di kawasan pantai. Oleh hal demikian, besarlah harapan saya agar pihak kerajaan dapat melihat isu ini untuk diambil tindakan sewajarnya demi memastikan kesan hakisan dapat diminimumkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kebajikan dan pembelaan nasib rakyat adalah kunci utama kemakmuran negeri Johor. Resepi ini merupakan amalan yang dilakukan oleh Barisan Nasional dalam menjalankan politik amal bakti kepada rakyat. Justeru itu, saya mencadangkan supaya kerajaan Johor meneruskan dan menambah peruntukan Skim Bantuan Kasih Bangsa Johor yang mana sebelum ini berjumlah RM1.4907 disalurkan kepada rakyat dalam bentuk pemberian beras 10 kilo kepada setiap rumah dalam negeri Johor. Oleh itu, kerajaan Johor mungkin boleh mencari mekanisme baharu bentuk bantuan yang lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan layak untuk menerima bantuan. Kemudahan-kemudahan infrastruktur desa juga perlu diberi perhatian. Khususnya oleh kerajaan Johor seperti usaha pelebaran menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan kampung yang memberikan peranan dan kemudahan membawa hasil pertanian di kampung-kampung ke pusat jualan. Oleh itu, jurang perbezaan pembangunan fizikal jalan antara desa dan bandar dapat dikurangkan demi keselesaan rakyat. Turut tidak dilupakan berkenaan penambahan lampu jalan di setiap kampung juga menjadi suara hati masyarakat di Sungai Balang. Semoga dengan peruntukan RM3.6 juta bagi pemasangan lampu jalan dalam Belanjawan 2023 ini dapat menambah bilangan lampu jalan di kawasan kampung yang memerlukan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan ini sekali lagi saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas pemilihan barisan jemaah EXCO Kerajaan Johor kerana hasil usaha kerja keras tanpa mengenal lelah ini telah mendatangkan hasil yang cukup manis buat negeri Johor dan rakyatnya. Saya menyeru diri saya dan kepada semua Ahli Yang Berhormat agar kita semua dapat memberikan kerjasama, sokongan dan dokongan padu kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam menjayakan misi Maju Johor Makmur Bersama Rakyat kerana sesungguhnya muafakat itu membawa berkat.

Dari Kedah ke Pekan Sari, beli suasa di Kota Tinggi, selesai sudah tugasan diberi, di lain masa bersua lagi. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya Sungai Balang memohon menyokong. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Sungai Balang. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Salam sejahtera dan selamat petang Yang Berhormat Datuk Speaker. Jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi peluang kepada Bentayan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis lepas di dalam Dewan yang mulia ini. Bentayan juga ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bersempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2022. Bentayan juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak JDT atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu dan kontinjen SUKMA Johor. Buat pertama kali menjuarai Sukan Malaysia 2022 pada September yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak tahun 2020, ekonomi negara dan juga negeri telah dilanda kemerosotan akibat pandemik COVID-19. Maka Belanjawan Negeri Johor 2023 adalah sangat penting dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri Johor di samping membantu golongan yang terjejas akibat wabak pandemik ini. Pelaksanaan setiap strategi dan inisiatif belanjawan adalah penting untuk memastikan setiap langkah atau agenda strategi yang akan dilaksanakan dapat memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi negeri dan semua golongan yang memerlukan. Jadi, tahap keberkesanan pelaksanaan setiap inisiatif perlu sentiasa dipantau dan dinilai dengan tujuan penambahbaikan pada

masa akan datang. Justeru itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar perlu meletakkan KPI bagi setiap Pengerusi Jawatankuasa Negeri yang bertanggungjawab terhadap pelbagai inisiatif di bawah portfolio masing-masing dan semua output dan outcome dengan izin, perlu dibentang di Dewan yang mulia ini supaya semua ADUN dan rakyat negeri Johor dapat menilai pencapaian mereka. Di samping itu, laporan ini juga perlu menunjukkan dengan jelas sebarang inisiatif yang gagal dilaksanakan dan mencapai matlamat yang ditetapkan dan faktor penyebab kegagalan tersebut supaya langkah penambah baik boleh diambil pada masa akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pandemik COVID-19 telah memberi impak besar kepada ekonomi negara dan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Negara mengalami penyusutan ekonomi dengan anggaran RM2 bilion sehari. Malah, kehidupan rakyat turut terkesan lebih-lebih lagi apabila perlu mengadaptasi dengan kebiasaan norma baharu dan mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP).

Yang Berhormat Datuk Speaker, secara umumnya sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan adalah melibatkan perkhidmatan yang disediakan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk agensi masing-masing. Teras pertama dalam agenda Maju Johor ialah tadbir urus kerajaan dan matlamatnya adalah mentransformasikan tabiat mulus kerajaan bagi menghasilkan sistem penyampaian awam yang berintegriti, berprestasi tinggi, cekap dan berkesan. Maka kerajaan harus mensasarkan kerajaan negeri sebagai kerajaan digital. Kerajaan digital perlu dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti daya asing, kecekapan serta keberkesanan jentera pentadbiran negara dengan memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ICT secara intensif serta komprehensif.

Kerajaan digital bukan sahaja merangkumi inisiatif penggunaan teknologi sebagai alat tetapi juga memampan dialog interaksi dan memperkasakan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan. Selaku sebuah kerajaan digital, kita akan terus mempersoalkan tahap status dan mencabar keadaan konvensional yang diguna untuk menjalankan aktiviti bagi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan. Kerajaan digital merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dan negara. Antara kepentingan kerajaan digital adalah seperti berikut:

Pertama, menunjukkan bahawa kerajaan lebih telus dan terbuka. Sistem ini membolehkan orang ramai mengakses maklumat dengan mudah pada bila-bila masa. Kerajaan menyediakan perkhidmatan secara dalam talian dan menyampaikan sebarang pengumuman terkini menerusi laman web rasmi kerajaan.

Kedua, memudahkan penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat, menyediakan perkhidmatan seperti capaian borang yang perkhidmatan tertentu di mana rakyat boleh mengisi dan menghantarkan permohonan seperti permohonan lesen secara dalam talian tanpa perlu membuang masa pergi ke pejabat kerajaan. Pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan melalui penggunaan media Internet contohnya, e-dagang, e-perubatan, e-filing dan sebagainya.

Ketiga, meningkatkan mutu dan kecekapan sektor awam. Memudahkan pengguna untuk berurusan dengan lebih pantas dan cekap melalui laman web. Pengguna tidak perlu pergi ke kaunter pejabat perkhidmatan awam kerana perkhidmatan tersebut boleh diakses di hujung jari. Urusan pembayaran bil kemudahan asas, semakan saman trafik, urusan tender kerajaan dan pendaftaran perniagaan dapat dilakukan secara terus dalam talian, mengurangkan kesilapan dalam pengiraan data. Bagi memastikan kerajaan digital dapat direalisasikan dengan baik bukan sahaja infrastruktur ICT perlu diberi perhatian malah infrastruktur juga perlu ditekankan bagi memastikan semua pihak dapat jaringan maklumat yang lebih tepat dan cepat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan seperti JohorPay, Sistem e-PBT, Sistem Integrasi Tanah Johor dan sebagainya tetapi masih lagi terdapat ruang untuk menambahbaikkan dan pembangunan dalam perkara ini. Misalnya JohorPay hanya boleh membuat bayaran bagi urusan pembayaran seperti cukai tanah sedangkan urusan pembayaran di peringkat PBT masih tidak boleh dilaksanakan. Di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, pengguna boleh terus membuat carian tanah, land search, dengan izin, dan membuat pembayaran melalui atas talian sedangkan di negeri Johor segala urusan mencari tanah perlu dilakukan di Pejabat Tanah Daerah masing-masing ataupun Pejabat Tanah dan Galian di Kota Iskandar. Proses ini menyusahkan dan mengambil masa yang panjang bagi mereka yang ingin membuat carian tanah terutamanya yang tinggal luar dari kawasan daerah tersebut. Misalnya, orang Muar terpaksa hadir ke Pejabat Tanah Daerah Muar, Daerah Kluang untuk carian tanah jika tanah tersebut terletak di daerah Kluang. Justeru, dengan adanya perkhidmatan atas talian pengguna boleh membuat carian tanah di mana-mana tempat serata Johor pada bila-bila masa. Maka kerajaan negeri harus mempunyai rancangan dan strategi untuk menjadikan sebuah kerajaan digital supaya matlamat agenda Maju Johor dapat dicapai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jaringan jalan raya yang menyeluruh dengan kapasiti yang optimum adalah penting untuk menyokong pembangunan ekonomi dan memacu kesejahteraan sosial daerah Muar. Kesesakan trafik di jalan-jalan utama daerah Muar semakin teruk disebabkan faktor pertambahan bilangan kenderaan dan keadaan dijangka akan menjadi semakin kritikal dengan pertambahan isi padu trafik seperti kenderaan barangan berat atau separa berat terutamanya apabila Muar Furniture Park (MFP) mencapai kapasiti sepenuhnya pada masa hadapan.

Bagi mengurangkan tahap kesesakan jalan raya di pusat bandar Maharani Bandar Diraja yang berpunca daripada trafik kenderaan berat ini, RTD 2030 Muar telah mencadangkan suatu trafik barangan dari MFP ini dialihkan kepada satu laluan baharu yang tidak melalui jalan raya utama sedia ada iaitu Jalan Persekutuan FT002 dan Jalan Negeri JT2 untuk mengakses Lebuh raya PLUS E2. Apabila Bandar Universiti Pagoh atau hab pendidikan mencapai tahap kapasiti penuh, tentunya akan terdapat penambahan jumlah pelajar, perjalanan pelajar, kakitangan akademik, kakitangan sokongan serta pengunjung ke institusi pendidikan di Bandar Universiti Pagoh daripada tempatan jauh mahu pun dekat. Penambahan perjalanan ini di laluan sedia ada dan seterusnya menyebabkan kesesakan di laluan-laluan utama.

Jalan Bakri dan Jalan Salleh merupakan jalan raya utama yang menghubungkan MFP dan Hab Pendidikan ke pusat bandar Maharani Bandar Diraja walaupun MFP masih belum beroperasi dan hab pendidikan masih belum mencapai tahap kapasiti penuh. Tetapi tahap kesesakan bagi kedua-dua laluan sudah semakin teruk terutamanya pada waktu puncak. Maka Bentayan menyeru kerajaan untuk memberi perhatian sewajarnya dan menaik taraf kedua-dua jalan tersebut kepada empat lorong, dua hala supaya masalah kesesakan dapat diatasi. Di samping itu, laluan baharu iaitu trafik barangan dari MFP ke Lebuh raya PLUS E2 juga harus disegerakan kerana ini juga akan membantu untuk mengurangkan kesesakan yang dihadapi terutamanya di Bukit Bakri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Program Penanaman 170,000 Batang Pokok, semua PBT telah disarankan untuk menanam pokok supaya sasaran 2 juta pokok di negeri Johor dapat dicapai. Namun dengan bertambahnya jumlah tanaman pokok ini akan menyebabkan seringnya berlaku masalah berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan pokok tersebut, penambahan kos penyelenggaraan juga akan berlaku apabila pokok-pokok tersebut semakin membesar dan subur kelak. Justeru, pihak kerajaan negeri perlu mengkaji semula kadar jumlah peruntukan sedia ada yang disalurkan sebagai tanggungan kepada kos penyelenggaraan tersebut selain membuat penambahan peruntukan yang mencukupi

agar segala proses serta kerja-kerja penyelenggaraan pokok-pokok tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual untuk menjamin persekitaran yang selamat dan bersih.

Bentayan juga sering kali menerima aduan tentang kerja-kerja penyelenggaraan pokok ini. Pokok besar dan semua ini juga sering memberi masalah keselamatan dan kebersihan kepada orang awam. Response time, dengan izin, terhadap aduan ini sering mengambil masa yang panjang untuk sebarang tindakan susulan. Berdasarkan maklumat yang diterima, kerja-kerja penyelenggaraan ini hanya dilakukan oleh sebuah syarikat kontraktor sahaja yang dilantik melalui proses perolehan iaitu secara tender terbuka sekali bagi setahun. Oleh kerana kaedah pelaksana yang dibenarkan adalah dengan melantik hanya sebuah syarikat kontraktor sahaja sebagai badan pelaksana di kawasan-kawasan seluruh daerah Muar, ini menyebabkan response time, dengan izin, tidak akan, yang agak lama.

Justeru itu, Bentayan ingin mencadangkan agar pelaksana kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dilakukan oleh sekurang-kurangnya dua buah syarikat kontraktor atau lebih, mensyaratkan tatacara perolehan yang akan melantik syarikat kontraktor kelas G1 kerana bukan sahaja response time, dengan izin, dari tarikh aduan akan menjadi lebih cepat, malah ianya juga dapat membantu melancarkan kembali pertumbuhan ekonomi untuk syarikat-syarikat kontraktor, selain membuka peluang-peluang baharu kepada lebih ramai lagi syarikat kontraktor kelas G1 yang ada di daerah Muar.

Akhir kata, Bentayan juga berharapkan agar kesemua inisiatif yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Persidangan Belanjawan 2023 bagi negeri Johor ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berhemah sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri Johor. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Panti.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertamanya Panti mengucapkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor serta barisan EXCO atas satu pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang lebih baik. Walaupun berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar serta pertumbuhan ekonomi yang masih rendah dan lemah, kerajaan berupaya membentangkan satu belanjawan lebihan yang merangkumi semua lapisan rakyat serta meyakinkan. Bertemakan “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”, belanjawan ini hadir dengan 6 Teras, 26 Strategi serta 110 Inisiatif. Diharapkan belanjawan ini dapat memacu negeri bagi memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat kita laksanakan dan capai sebaiknya.

Setinggi tahniah juga untuk seluruh warga perkhidmatan awam negeri yang dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani atas khidmat cemerlang selama ini. Keduanya, Panti mengambil peluang sebelum meneruskan perbahasan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Panti berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam perbahasan pada hari ini, Panti ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan sesuatu sebagai penambahbaikan untuk diberi pertimbangan dan dilaksanakan. Perkara yang secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya dari Panti. Di dalam pembentangan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada dinyatakan di bawah teras pertama tentang kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA, Panti sangat mengalu-alukan perkara ini. Mungkin selain dari FELDA, kerajaan juga boleh

mempertimbangkan untuk perkara yang sama bagi generasi kedua perkampungan tradisional di seluruh negeri Johor secara berperingkat-peringkat termasuklah perkampungan-perkampungan Orang Asli. Seperkara lagi berkaitan tanah generasi kedua ini adalah diharapkan untuk kerajaan negeri juga membantu dari segi penyediaan infrastruktur asas seperti saliran, perparitan dan jalan raya agar mereka dapat hidup dengan baik lalu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi y ang baik untuk negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras kedua merupakan satu perkara yang sangat penting untuk Johor kini. Satu langkah yang tepat bagi kerajaan negeri memberi fokus dalam pembangunan ekonomi pasca pandemik. Semua maklum akan turunnya daya saing Johor sebagai tumpuan pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada hari ini ianya mula meningkat kembali serta mula menarik semula pelaburan ke dalam negeri. Melalui 6 Strategi dan 29 Inisiatif, Panti yakin teras kedua ini merupakan satu perancangan yang sangat baik. Panti berharap pelaksanaannya kelak dapat dibuat dengan sempurna bagi memastikan objektif yang diletak akan dicapai. Satu strategi di bawah teras ini yang penting adalah strategi kedua iaitu menyediakan peluang latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan. Cuma perlu dipastikan agar pilihan latihan kemahiran betul-betul mengikut kehendak pasaran dan boleh memberi nilai tambah kepada pekerja sedia ada apabila mereka menyertai inisiatif ini. Pelaksanaan yang teliti sangat penting agar masa yang diberi oleh pelatih tidak dipersiakan.

Di bawah teras kedua ini juga melalui strategi ketiga iaitu memperkasa industri pelancongan, Panti memohon untuk dimasukkan juga naik taraf bagi beberapa tumpuan pelancongan di Panti seperti Gunung Muntahak dan Gunung Panti sendiri. Keadaan infrastruktur khususnya jalan masuk untuk sampai ke kaki gunung ini perlu dibaik pulih. Soal keselamatan juga perlu diambil kira dalam usaha menjadikan tempat-tempat seperti ini menjadi pilihan utama dalam negeri.

Kota Tinggi juga merupakan sebuah daerah yang memberi tumpuan dalam sektor pelancongan. Panti mencadangkan agar diwujudkan satu pelan khas bagi melonjak dan melihat semula keadaan infrastruktur, soal akses, soal keselamatan serta pembangunan ekonomi hiliran penduduk setempat yang merangkumi banyak kawasan pelancongan di daerah ini. Ianya perlu dibuat secara menyeluruh dan tersusun.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pembangunan usahawan yang merupakan strategi keempat adalah strategi yang sangat baik dengan inisiatif yang jelas, Panti sentiasa menyokong usaha seperti ini mungkin satu sudut untuk tidak dilupakan adalah tentang potensi e-Ekonomi. Industri ini berpotensi besar dan perlu ada dokongan dari kerajaan negeri sama ada kepada usahawan atau pengguna itu sendiri. Tumpuan e-Ekonomi ini sama ada berdasarkan perniagaan kepada perniagaan atau perniagaan kepada pengguna. Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif khas seperti subsidi cukai bagi premis yang menjalankan kegiatan e-Ekonomi. Penawaran latihan percuma kepada usahawan, subsidi peralatan atau laluan khas bagi permohonan geran sedia ada. Contohnya, kepada penggerak e-Ekonomi seperti rider e-Hailing atau p-Hailing mungkin boleh diberi servis percuma kenderaan mereka untuk sekali dalam setahun. Dari setiap pengguna pula perlu ada usaha dari kerajaan untuk pastikan industri e-Ekonomi ini mendapat kepercayaan atau trust dengan izin, contohnya dari sudut isu halal, premis yang terlibat perlu jelas tanda halalnya, perlu ada mekanisme yang efektif Jabatan Agama atau agensi yang menjaga perkara ini perlu sentiasa masuk ataupun menggunakan aplikasi contohnya foodpanda, grab atau lain-lain serta membuat pemantauan. Ini kerana banyak laporan dari pengguna yang mengatakan sesetengah pengusaha mendapatkan maklumat yang mengelirukan contohnya ada kedai namanya Melayu tapi sebenarnya diusahakan oleh bukan Melayu dan bukan beragama Islam. Ini menimbulkan keraguan status halal makanan yang dijual.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, satu lagi teras yang dibentangkan dalam belanjawan ini adalah tentang jaringan keselamatan sosial. Isu perumahan merupakan

strategi pertama teras ini, Panti mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri yang sentiasa prihatin dalam menjayakan hal perumahan ini. Panti ingin mengambil kesempatan di bawah tajuk perumahan ini untuk memohon kerajaan negeri mencari satu mekanisme yang boleh menyelesaikan satu isu perumahan iaitu perumahan sakit yang dilaksanakan oleh persekutuan. Objektifnya adalah negeri juga ada kawalan agar perumahan ini dapat siap dengan cepat tanpa ada alasan. Mungkin negeri perlu laksanakan syarat khas atau mempunyai lebih kuasa untuk mana-mana projek perumahan persekutuan yang membolehkan negeri campur tangan atau sebagainya jika timbul masalah. Mungkin negeri boleh mendesak persekutuan untuk mengubah dasar khususnya dalam hal ehwal kebajikan pembeli yang menanggung kerugian atas sebab projek sakit seperti ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker di bawah teras yang sama, strategi kedua iaitu kebajikan rakyat merupakan sesuatu yang amat dekat dengan Panti serta rakan-rakan Ahli Dewan saban hari ada saja isu kebajikan rakyat yang kami temui dan perlu diselesaikan, syabas kepada kerajaan negeri yang sentiasa menitik beratkan perkara ini. Panti juga ingin mencadangkan beberapa perkara untuk pertimbangan kerajaan dan isu kebajikan ini. Panti mencadangkan agar bantuan yang diberi kepada penerima sama ada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitulmal dapat dikaji semula. Ini kerana kadar bantuan perlu sesuai dengan keadaan pada masa sekarang, keperluan golongan ini bukan sahaja terhad kepada memohon bantuan bagi membeli keperluan asas akibat ketidakmampuan bekerja malah mungkin juga kepada membeli ubat atau mendapatkan rawatan di hospital dan sebagainya. Kos yang semakin hari semakin meningkat ini, menambah lagi keperluan untuk mengkaji semula kadar bantuan dan Panti mencadangkan agar kadar ini dikaji sekerap mungkin dan disemak mungkin setiap tahun. Teras ini juga melalui strategi ketiga memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli, Panti berdoa inisiatif kedua iaitu pembangunan kampung Orang Asli sejahtera dan kampung terpilih adalah Orang Asli Puting di Segamat sebagai perintis dapat dilaksanakan dengan segera dan cepat.

Panti juga mencadangkan jika dilihat projek ini telah mencapai 30% kejayaannya, ianya dapat segera diperluas kepada kampung-kampung lain di seluruh negeri Johor khususnya tiga kampung Orang Asli di kawasan Panti sendiri iaitu Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Kempas Menang dan Kampung Orang Asli Pasir Intan. Tidak perlulah menunggu sehingga projek perintis siap sepenuhnya atau selesai baru hendak dilaksanakan di tempat lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker teras keempat iaitu kemudahan dan keperluan asas juga merupakan satu tumpuan yang penting, teras ini perlu dipastikan agar pelaksanaannya kelak dapat berjalan dengan baik dan seperti yang dirancang. Melalui teras ini di bawah strategi pertama inisiatif kedua, kerajaan bercadang menaik taraf kemudahan lampu jalan. Panti memohon dan merayu agar ianya diperluas ke banyak tempat yang sangat memerlukan lampu jalan khususnya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung. Kalau dilihat pedalaman dan kampung ini selalunya terpinggir dari perkara seperti ini, jika mempunyai masalah akses kepada tenaga elektrik mungkin lampu jalan berasaskan solar boleh dipertimbangkan.

Selain daripada isu naik taraf atau bina lampu jalan ini, isu pembayaran elektrik khususnya di kampung juga merupakan isu yang sentiasa berlaku dari semasa ke semasa. Ini kerana apabila tumpuan tidak diberi kepada kawasan pedalaman dan kampung, penduduk berusaha sendiri memohon peruntukan dengan pelbagai pihak dan agensi melalui skim tanggungjawab korporat dan lain-lain dan selalunya peruntukan untuk membina lampu jalan ini hanyalah untuk mewujudkan lampu jalan sahaja. Maka timbullah isu bil elektrik yang sentiasa bertambah dan tidak berbayar sehinggalah ianya dipotong.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah teras keempat dan strategi pertama juga ada disebut tentang inisiatif keempat iaitu penyelenggaraan sekolah agama, masjid dan surau serta tanah perkuburan Islam. Panti mengucapkan berbanyak terima kasih atas

inisiatif ini. Ianya satu inisiatif yang sangat diperlukan dan Panti yakin rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan atas perkara ini. Cuma Panti mohon agar peruntukan yang diberi dapat dikaji semula, betulkan Panti jika salah dalam pengiraan ini. Ini kerana peruntukan sebanyak RM9.4 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta peralatan dan perabot sekolah agama adalah masih tidak mencukupi. Panti difahamkan ada 585 buah sekolah agama di seluruh negeri Johor dan jika dikira secara purata setiap sekolah hanya akan menerima lebih kurang RM16,000.00 sahaja untuk setahun, mana hendak betulkan bangunan, mana hendak ganti perabot, dan serta peralatan lain. Begitu juga dengan peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan masjid dan surau yang berjumlah lebih kurang 2,800 buah di seluruh negeri Johor yang mana 838 adalah masjid. Dengan peruntukan hanya sebanyak RM2.7 juta ianya memberi peruntukan secara purata setiap masjid dan surau ini jumlahnya kecil tidak sampai RM1,000.00 setahun bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih. Moga rayuan Panti ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui teras kelima strategi pertama inisiatif ketiga, sekali lagi Panti berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang diberi untuk penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli. Peruntukan pengurusan sisa pepejal sememangnya amat diperlukan bagi kawasan luar bandar yang berada di luar kawasan PBT. Di Panti khususnya isu ini banyak berlaku terutamanya di kampung-kampung tradisional. Panti harap pelaksanaan inisiatif ini berjalan dengan lancar dan Panti memohon agar pihak pelaksana agar dapat meneliti beberapa buah tempat di Panti seperti Kampung Semangar, Kampung Lukut, Kampung Batu 4 dan Kampung Bukit Bintang untuk dimasukkan dalam inisiatif ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah teras yang sama strategi kedua iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan sungai. Inisiatif kedua juga merupakan satu inisiatif yang Panti amat alu-alukan. Sungai-sungai khususnya di Panti sememangnya perlu di selenggara mengikut jadual dan dengan sempurna agar kejadian banjir dapat dielakkan atau dikurangkan. Ini terbukti apabila Sungai Lalang dan Sungai Jambrut yang lama tidak di selenggara tetapi dapat di selenggara pada akhir tahun 2021 dapat mengurangkan kegiatan banjir khususnya banjir kilat di kawasan Panti pada tahun ini.

Selain daripada penyelenggaraan sungai, parit dan saliran, penyelenggaraan pam yang sedia ada juga amat penting, mungkin tidak dinyatakan secara spesifik di dalam pembentangan belanjawan ini namun Panti berharap ianya termasuk dalam perancangan dan sentiasa mencukupi untuk tujuan tersebut. Satu perkara yang berkaitan dengan banjir ini atau apa sahaja bencana seperti ribut, terbakar dan sebagainya akan melibatkan kerugian harta benda. Panti ingin cadangkan untuk kerajaan negeri untuk mewujudkan satu tabung yang mungkin boleh dipanggil Tabung Bencana Negeri Johor, tabung ini boleh menjadi satu harapan kepada rakyat untuk mereka mengemukakan permohonan bagi mengurangkan bebanan selepas bencana yang menimpa mereka. Peruntukan untuk tabung ini boleh dimulakan oleh kerajaan negeri dan dibantu oleh agensi kerajaan yang lain, selain daripada itu, syarikat swasta juga boleh menyumbang kepada tabung ini dengan pelbagai inisiatif yang kerajaan dapat beri untuk mereka seperti pengecualian cukai dan sebagainya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker sebelum Panti mengakhiri perbahasan pada kali ini panti ingin mencadangkan satu perkara yang Panti kira berkait rapat dengan semua inisiatif yang dibentangkan. Segala peruntukan yang disebut, Panti harap perlu mengambil kira kes-kes kecemasan sama ada ianya di peringkat kerajaan sendiri agensi atau syarikat swasta seperti konsesi yang melaksanakan penyelenggaraan seperti jalan dan lain-lain. Sebagai contoh jika berlaku jalan terputus akibat tanah runtuh atau parit pecah dan sebagainya mungkin di hujung tahun ianya tidak dapat dibaiki segera atas alasan peruntukan sudah tiada, ini kerana ini kerap berlaku alasan seperti ini dan memberi cerminan yang tidak baik untuk kerajaan khususnya. Maka setiap perancangan yang baik sudah tentu mengambil kira atas perkara-perkara ini.

Kesimpulannya, Belanjawan 2023 yang dibentangkan perlulah disokong sepenuhnya walaupun dengan pelbagai rintangan dan keadaan ekonomi tidak menentu yang ada pada hari ini kerajaan di bawah kepimpinan yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghani berjaya membawa kita kepada satu perancangan terbaik yang akhirnya akan memberi kesan positif kepada semua golongan. Panti juga berharap agar negeri Johor tidak di anaktirikan oleh persekutuan dalam segala perancangan yang telah negeri buat. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan dipermudahkan untuk kita sama-sama laksanakan.

Semoga dengan niat ikhlas kerajaan pada hari ini membantu rakyat, Allah SWT memakbulkan doa kita agar negeri Johor sentiasa aman, makmur dan maju menjelang 2030. Insya-Allah Panti mohon menyokong. Sekian wabillaitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatuulahi wabarakatuh. Terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam terima kasih Yang Berhormat Panti. Kita berhenti sebentar untuk memberi laluan kepada azan.

(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)

Timbalan Speaker

Perbahasan disambung semula, dijemput Yang Berhormat Bukit Kepong.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNBukit Kepong

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera (selawat). Bersyukur Bukit Kepong kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat saya sertai dalam perbahasan sempena Belanjawan Johor 2023. Sebelum melangkah lebih jauh izinkan Bukit Kepong untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih dan ucap selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim Sempena Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November 2022 yang lalu.

Patik bersama sekalian Wakil Rakyat dan Ahli Perikatan Nasional Negeri Johor berdoa pada Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian Kerabat Diraja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat sejahtera bagi menaung, bagi menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor.

Patik turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah Kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor berserta keseluruhan pasukan Harimau Selatan atas pencapaian cemerlang Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim yang telah menjuarai empat trofi pada musim 2022 ini. Pencapaian menjuarai triple hattrick, Liga Super Malaysia diikuti kejayaan merangkul Piala Premier, Piala Presiden dan beberapa trofi lain meletakkan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim berada dalam kelas yang tersendiri dalam kancah bolak sepak Malaysia.

Sesungguhnya kejayaan yang diraih ini bukan sahaja telah mengharumkan nama Johor di persada antarabangsa mahupun tanah air. Malah menjadi catatan gemilang dalam liputan sejarah arena sukan bola sepak negeri. Syabas sekali lagi diucapkan.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNBukit Kepong

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Bukit Kepong ingin merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang juga merupakan Belanjawan sulung Yang Amat Berhormat Dato Onn Hafiz bin Ghazi Menteri Besar Johor pada hari Khamis yang lalu. Ucapan tahniah yang sama turut dizahirkan kepada Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani Setiausaha Kerajaan Johor kerana turut bertungkus lumus bersama kepimpinan negeri menyediakan Belanjawan

Negeri bagi tahun hadapan. Komitmen yang diberikan oleh Perkhidmatan Awam Negeri Johor sebagai nadi kepada kerajaan negeri Johor amatlah Bukit Kepong kagumi dan sanjungi sekali gus mendoakan perjalanan tadbir urus kerajaan terus berjalan dengan lancar.

Bukit Kepong juga merakamkan sekalung tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran dan pembangunan tanah serta anugerah pelajar terbaik. Kejayaan Yang Berhormat Tan Sri, insya-Allah menjadi ikutan dan tauladan kepada seluruh penjawat awam untuk menggapai kejayaan tertinggi dalam bidang akademik yang akhirnya memperkukuhkan perkhidmatan tadbir negeri Johor. Tidak dilupakan ucapan syabas Bukit Kepong kepada Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dalam pihak bidang pengurusan masing-masing. Anda semuanya sememangnya luar biasa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menyelusuri ucapan Belanjawan Johor 2023 dibentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada minggu lalu, Bukit Kepong turut merasai kegusaran untuk menghadapi cabaran persekitaran ekonomi pada tahun hadapan. Apatah lagi dunia termasuklah Malaysia dan negeri Johor khususnya masih berada dalam fasa pemulihan yang begitu perlahan selepas teruk terkesan dengan pandemik COVID-19 sekali gus cabaran ekonomi ini bakal menghimpit dan menghambat rakyat di lapangan. Apakah kita semua telah bersedia dengan cabaran ekonomi pada tahun hadapan yang dijangka mengalami kemelesetan dan kesuraman? Sudah kah kita semua menyediakan perancangan dan langkah-langkah intervensi secara holistik sebagai persiapan?

Bukit Kepong sedar akan pencapaian angka-angka yang telah diraih oleh negeri Johor pada tahun 2022, namun menjadi persoalan apakah rakyat menikmati segala manfaat daripada kejayaan setiap angka-angka ini, seterusnya dipersiapkan dengan cabaran ekonomi pada tahun hadapan. Atas sebab itu, Bukit Kepong ingin menegaskan dengan penuh dengan penuh pengharapan semoga setiap teras, strategi dan inisiatif yang telah dibentangkan oleh kerajaan negeri Johor dalam Belanjawan Johor 2023 benar-benar dinikmati oleh rakyat. Sikap prihatin dan cakna kepimpinan negeri terhadap nasib Bangsa Johor di lapangan amatlah ditagih agar tiada rakyat walau seorang pun yang hidup dalam kesusahan dan kerencaman hidup bukan dikaburi dengan angka-angka pencapaian yang disebutkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, impian untuk melihat negeri Johor menjadi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030 membuktikan iltizam dan optimistik kerajaan negeri Johor pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk mencapai ke arah itu. Sebagai Bangsa Johor, Bukit Kepong mengalu-alukan impian ini dan berharap agar negeri Johor mampu menjadi sebuah negeri yang maju bukan sahaja menjelang tahun 2030 malah lebih awal daripada yang disasarkan oleh kerajaan negeri. Bagaimanapun, untuk mencapai impian ini tindakan dan langkah yang diambil perlulah bersifat menyeluruh. Proses yang berlaku untuk menjayakan agenda Maju Johor berlaku secara munasabah dan juga setara di segenap kawasan. Maka strategi Belanjawan Johor 2023 ini, memperhebatkan Johor Bahru atau Greater Johor Bahru dengan izin, perlulah turut mencakupi daerah atau kawasan yang lain termasuklah Pagoh dengan ikhtiar kerajaan negeri untuk mengumumkan segala potensi yang ada. Untuk melihat negeri Johor maju menjelang tahun 2030, strategi memperhebatkan Johor atau Greater Johor dengan izin, sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri dengan memastikan tiada satu kawasan sekalipun tersisih daripada pembangunan dan limpahan ekonomi. Maknanya perlu seimbang, bandar dan luar bandar tiada kawasan yang terabai bila kita sebut usaha memperhebatkan atau Greater di negeri Johor. Janganlah wujudkan jurang sebaliknya pastikan kemakmuran yang menjadi tagline kerajaan negeri disetarakan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menyelusuri teras kedua iaitu Pembangunan Ekonomi dalam Belanjawan Johor 2023 suka untuk Bukit Kepong meminta perhatian kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkaitan strategi memperkasa industri pelancongan. Seperti Johor Bahru, daerah Muar juga merupakan kawasan yang hebat membangun malah menjadi antara destinasi kunjungan pelancong apabila mereka berada di negeri Johor. Inilah dapat kita lihat pada setiap hujung minggu. Tanpa perlu menunggu musim cuti sekolah mahupun musim perayaan, daerah Muar akan menerima kehadiran pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk menikmati segmen produk pelancongan yang ada. Situasi ini menjadikan kawasan Pagoh juga tidak terkecuali untuk menerima limpahan daripada kunjungan pelancong yang mahu ke bandar Muar, begitu juga dengan kawasan Tangkak. Bukit Kepong ingin meminta kerajaan negeri agar memberi perhatian terhadap daerah Muar dan daerah Tangkak. Perhatian ini adalah kepada inisiatif menyelesaikan beberapa isu seperti penambahbaikan rangkaian jalan raya yang lebih selesa dan selamat bermula dari exit Pagoh Lebuh raya Utara Selatan Plus hingga ke bandar Muar. Di samping itu, kerajaan negeri perlu membelanjakan wang dengan sebaiknya terutama bagi inisiatif penganjuran acara-acara pelancongan Johor. Janganlah melaksanakan program bersifat syok sendiri atau memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja. Apabila menganjurkan acara atau program pastikan rakyat menerima manfaat yang terbanyak bukannya rakyat tersisih dan sekadar melihat gegantung di jalan raya sementara satu pihak pula hebat meraikan orang luar sepanjang acara berlangsung.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bagi strategi Memperkasa Industri Makanan Dan Teras Pembangunan Ekonomi terdapat beberapa perkara yang ingin Bukit Kepong memohon perhatian daripada kerajaan negeri Johor antaranya mewujudkan kawasan pertanian untuk anak muda. Di DUN Bukit Kepong, terdapat anak muda yang rata-ratanya berminat untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan secara serius dan aktif. Hal ini perlu dilihat secara positif kerana pada akhirnya dapat mengelakkan migrasi anak muda dari Bukit Kepong ke bandar besar bagi mencari pekerjaan. Maka, Bukit Kepong mahu kerajaan negeri untuk membenarkan proses guna pakai tanah-tanah milik kerajaan bagi mewujudkan lapangan atau kawasan pertanian untuk kumpulan anak muda yang berminat dalam sektor ini.

Selagi mana belum ada perancangan untuk dibangunkan tanah milik kerajaan dan bagi mengelakkan ia terbiar begitu saja, benarkan lah anak muda Pagoh khususnya Bukit Kepong untuk memajukan dengan menjayakan aktiviti pertanian dan penternakan. Inilah antara langkah yang bukan sahaja membolehkan anak muda menjana pendapatan dan meraih pekerjaan malah pendekatan membenarkan tanah milik kerajaan diusahakan dengan aktiviti pertanian dan penternakan mampu memastikan sekuriti makanan negara terjamin. Bukit Kepong turut mencadangkan kepada kerajaan negeri agar sebahagian jajaran Sungai Muar khususnya dari Pekan Bukit Kepong ke Pekan Panchor dijadikan sebagai hab ternakan ikan air tawar. Hal ini sudah pasti akan menambahkan pendapatan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras Jaringan Keselamatan Sosial merupakan teras yang amatlah dekat dengan rakyat. Ia juga menterjemahkan betapa sebuah kerajaan itu bersifat prihatin dan sebaliknya pembangunan yang pro rakyat amatlah penting dalam memastikan keberkesanan kerajaan di mata rakyat. Oleh itu, strategi pembangunan perumahan rakyat, Bukit Kepong ingin memohon kerajaan negeri untuk memberikan tumpuan kepada usaha mewujudkan perumahan. Ini adalah isu rakyat, anak kepada peneroka sudah pasti meneruskan kesinambungan kumpulan peneroka asal FELDA ini. Maka, sudah tentulah Rumah Generasi Kedua FELDA sewajarnya diberikan pertimbangan untuk diberikan perhatian oleh kerajaan negeri. Justeru, Bukit Kepong juga ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk mewujudkan Rumah Mampu Milik Johor atau perumahan kos rendah di Pagoh khususnya di Bukit Kepong. Bukan sahaja menyediakan perumahan yang mencukupi malah memastikan kediaman yang dibina adalah benar-benar berkualiti dan mencapai

spesifikasi yang ditetapkan. Dengan jaminan ini tidak mungkin akan timbul isu perumahan terbengkalai atau projek sakit.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam teras Kemudahan Dana Keperluan Asas Belanjawan Johor 2023, 4 strategi dan 13 inisiatif telah dibentangkan, ia meliputi soal infrastruktur awam, pengangkutan, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi serta kesihatan. Maka, Bukit Kepong ingin mencadangkan beberapa perkara yang berbangkit melibatkan rakyat di DUN yang diwakili. Antaranya rungutan daripada rakyat mengenai isu gangguan bekalan air atau bekalan air yang sering terputus terutama pada musim perayaan. Di samping itu, Bukit Kepong juga menuntut perhatian kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tekanan air yang rendah di pekan Lenga, Kampung Jawa, atau menaik taraf Loji Rawatan Air Gombang bagi mengatasi isu gangguan bekalan air bersih ini.

Selain itu, jaringan Internet dan telekomunikasi di Pagoh terutama di beberapa kawasan di DUN Bukit Kepong menjadi isu yang kritikal sekali gus menuntut penyelesaian serta komitmen daripada kerajaan negeri. Bukit Kepong menyambut baik inisiatif jaringan Internet dan telekomunikasi dalam Belanjawan Johor 2023 dengan harapan liputan jalur mudah alih di kawasan berkependudukan diberikan perhatian sewajarnya. Mukim Bukit Serampang dan Mukim Lenga mempunyai masalah jaringan Internet antaranya Kampung Durian Chondong, Kampung Penchu dan Kampung Kundang Ulu di Mukim Bukit Serampang. Manakala Kampung Jawa, Kampung Renchong dan Kampung Liang Batu di Mukim Lenga. Lokasi ini tahap capaian jalur lebarnya ibarat biskut chipsmore kadang ada kadang tiada, jadi mungkin menerusi pelancaran pelaksanaan fasa 2 Pelan Jalinan Digital Negara perhatian dapat diberikan untuk menyelesaikan isu berbangkit ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, demikian sahaja ucapan perbahasan pada hari ini. Bukit Kepong ingin mengambil kesempatan ini, di Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas keberanian menegakkan pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya. Apa jua pendirian atau keputusan kerajaan negeri Johor yang mungkin bertentangan dengan landskap di peringkat persekutuan, Bukit Kepong berharap Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersama pasukannya akan memastikan Johor tidak sesekali dianaktirikan. Negeri johor juga antara penyumbang besar kepada ekonomi negara malah seperti kita sedia maklum sebanyak RM60.9 bilion pelaburan telah diraih dipercayai yang tertinggi di Malaysia ketika pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan pasukannya. Oleh itu, negeri Johor punya hak untuk menuntut perhatian kepada kerajaan persekutuan terutama melibatkan penyelenggaraan terhadap infrastruktur dan prasarana awam seperti rangkaian jalan raya, fasiliti kesihatan, pintu sempadan negara serta pusat sehenti rakyat. Pilihan raya negeri dan persekutuan telah pun berlalu dan sekarang adalah masa untuk berkhidmat pada rakyat termasuklah Bukit Kepong sendiri. Dengan mandat yang telah diberikan, laksanakan lah amanah yang dipertanggungjawabkan dengan tekad dan kesungguhan tinggi. Semoga negeri Johor mencapai kemajuan seperti yang diimpikan, dijayakan oleh sebuah kerajaan yang mendukung integriti, bersih, stabil dan prihatin demi kemakmuran rakyat dari hujung Tangkak ke selatan Johor hingga akhirnya ke pelosok Mersing. (Bacaan ayat al-Quran). Kepada Allah Kita Berserah. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Kepong. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor dan salam perpaduan Pemanis. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Dato-Dato, Yang Berhormat Ahli-Ahli, rakan-rakan Yang Berhormat sekalian, syukur ke hadrat Allah SWT di atas izin serta rahmatnya kita semua dapat bersama di dalam Dewan ini untuk kembali berbahas berkaitan dengan

Belanjawan Johor. Marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW. Semoga dengan berkat kita memperbanyakkan selawat ke atas Baginda insya-Allah negeri dan Bangsa Johor akan terus maju dan makmur menghadapi cabaran hari yang mendatang. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa pengumuman Belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pada hari Khamis yang lepas yang menggembirakan Bangsa Johor. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar di atas kepekaan membawa beberapa perkara dan isu yang dilihat dekat dengan rakyat. Tahniah kerana Johor berjaya memperoleh jumlah pelaburan yang paling tinggi tahun ini. Malah dilihat pelaburan berskala besar lebih tertumpu kepada industri berkaitan dengan digital di mana Pemanis ingin mencadangkan agar kawasan di sebelah Johor Utara yang telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada Wilayah Pembangunan Ekonomi ataupun ECER mampu berdaya saing dan patut dijadikan tumpuan oleh kerajaan negeri membangunkan prospek berkaitan dengan teknologi digital.

Saya ingin menyentuh berkenaan strategi pertama berkaitan dengan tadbir urus kerajaan. Dengan peruntukan sebanyak RM6 juta, bagi meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam dan juga modal insan, suka Pemanis mencadangkan agar pegawai tadbiran dan pengurusan yang diletakkan di kawasan Johor utara ini seeloknya mereka yang memahami dan ada pengetahuan serta kepakaran berkaitan dengan bidang pertanian dan juga perladangan moden. Mereka boleh diberikan tempat untuk menguruskan pentadbiran di daerah yang terlibat. Jika lanjutan pelajaran mereka berkaitan dengan industri pertanian dan perladangan, maka secara tidak langsung menempatkan mereka di kawasan Johor Utara ini terutamanya di daerah Segamat kelak akan dapat memberi manfaat besar dalam merangka dan menggerakkan hasrat kerajaan memajukan kawasan ini sebagai hab pengeluaran makanan berasaskan pertanian. Begitu juga dengan cadangan meningkatkan tahap profesionalisme. Institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat seharusnya mereka juga didedahkan dengan ilmu dan maklumat berkaitan dengan industri ini. Dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang telah disebutkan dalam belanjawan, antara kursus yang sepatutnya mereka boleh ceburi ialah kursus berkaitan dengan pengurusan pertanian dan juga pembangunan kawasan pengeluaran makanan, dan jika mereka berminat dengan lebih mendalam lagi, diploma berkaitan dengan pertanian juga patut digalakkan kepada mereka yang berminat untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Maksudnya, jika pengurusan tertinggi kerajaan di daerah dan Institusi Ketua Kampung dan Masyarakat memahami hasrat kerajaan membangunkan industri berkaitan dengan pengeluaran makanan ini, nescaya pemain-pemain industri ini juga akan lebih mudah mendapatkan bantuan, nasihat dan pandangan daripada mereka kelak.

Ini kaedah terbaik membina modal insan yang lebih berpengetahuan dan mampu memahami aspirasi kerajaan dengan sumber-sumber yang ada di sekeliling mereka. Tidaklah nanti RM500,000.00 peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu hanya tertumpu untuk kursus berkaitan dengan protokol dan juga perkara-perkara yang biasanya ketua kampung terlibat. Namun ada beberapa juga isu melibatkan ketua kampung yang tidak harus dipandang sepi. Mereka dilihat sebagai wakil kerajaan di peringkat paling bawah untuk menjadi mata dan telinga rakyat, pun begitu, antara masalah yang masih tertangguh begitu lama ialah berkaitan dengan lantikan ketua kampung yang sehingga kini masih belum dimuktamadkan. Temu duga telah dipanggil pada bulan Julai yang lepas, namun sehingga ke hari ini mereka yang dah dipanggil tertanya-tanya apakah status permohonan mereka. Ada juga aduan di kalangan ketua-ketua kampung ini berkaitan dengan isu elaun mereka. Kalau kita perasan, kejap naik kejap turun. Bila tukar Menteri, tukar kerajaan kadang-kadang naik, kadang-kadang, tiba-tiba turun. Ia pada kadar yang tidak menentu seolah memberi gambaran bahawa perjawatan ketua kampung ini tidak mendapat tumpuan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Mungkin dengan adanya inisiatif ini kelak, ia dijangka dapat membantu mereka yang telah menjalani kursus pengurusan untuk membuat permohonan kepada kerajaan mungkin dengan menyiapkan kertas kerja dan menyerlahkan peranan mereka dalam institusi masyarakat.

Jadi untuk itu, Pemanis ingin mencadangkan agar ketua kampung dan ketua masyarakat ini kerajaan berikan geran atau dana pengurusan sebanyak RM10,000.00 hingga RM15,000.00 untuk memudahkan mereka mentadbir dan membuat program-program kecil bagi membantu masyarakat di kawasan luar bandar. Sekurang-kurangnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bil-bil utiliti, kerosakan-kerosakan kecil balai raya yang mereka tumpang kadang-kadang untuk menjadi pejabat, makan minum semasa mesyuarat dan lain-lain itu bolehlah mereka tanggung dan mungkin kalau ada seperti kebiasaannya penduduk kampung yang datang meminta bantuan, dapatlah juga mereka menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam memastikan masyarakat Johor tidak tertinggal informasi dan berbudaya digital, tahniah juga di atas beberapa pengumuman belanjawan terutama berkaitan dengan penyediaan Wifi di sekolah-sekolah agama dan masjid, menaik taraf sistem JohorPay dan menubuhkan Jabatan Media Digital Johor, namun ada juga perkara yang dirasakan perlu untuk kerajaan negeri perhalusi dan memikirkan bagaimana membantu kawasan-kawasan yang jauh daripada pembangunan pesat Johor seperti di kawasan saya di DUN Pemanis. Suka saya ingin mencadangkan agar DUN Pemanis ini turut dijadikan sebagai kawasan dengan izin, Talent Bank ataupun pusat pengumpulan bakat-bakat berkaitan dengan teknologi. Di mana hari ini dengan kemudahan institusi pendidikan yang agak terhad di kawasan Segamat, kita ada UITM Segamat, TAR College, ada Kolej Komuniti Segamat pun kami dah berjaya menghasilkan lebih 150 orang talent dalam bidang IT menerusi Pusat Siber Pemanis. Pusat siber ini dijangka akan terus melahirkan lebih ramai graduan-graduan dan individu termasuk mahasiswa yang berminat dalam bidang IT untuk mereka diserapkan bekerja terutama di dalam syarikat-syarikat start up ataupun syarikat-syarikat pemula yang berteraskan IT di seluruh negara. Maksudnya jika ada strategi memperhebat Johor Bahru seperti disebut dalam belanjawan, apalah salah dan kiranya jika kerajaan negeri melihat potensi yang ada di sebelah utara ini dengan memperuntukkan juga perbelanjaan dan pelaburan berkaitan digital di daerah Segamat.

Kami yakin mampu menyediakan pakar teknologi, pengatur cara pembangunan sistem dan aplikasi baru telefon bimbit serta memperkenalkan penggunaan teknologi berteraskan pertanian moden. Ini mercu ilmu dan cabaran di daerah kami setelah digazetkan sebagai sebahagian daripada pembangunan di bawah ECER. Dengan kos sara hidup yang masih lagi rendah berbanding dengan kawasan bandar, daerah Segamat khususnya di DUN Pemanis amatlah sesuai dijadikan hab digital baru Johor. Ini terkandung dalam pelan strategi kelima memperkasa industri makanan dengan inisiatif pertama melaksanakan kolaborasi strategi pemodenan dan pertanian lestari di mana peruntukan sebanyak RM1.9 juta untuk mentransformasikan bidang pertanian dan industri makanan Johor. Kita kena dengan izin, explore dunia berkaitan teknologi pertanian ini. Dah sampai masa drone digunakan untuk membaja dan meracun tanaman di kawasan-kawasan pertanian. Sepatutnya dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit contohnya, mungkin kalau Datuk Speaker ada kawasan ladang, boleh terus menggunakan aplikasi tersebut untuk menyiram tanaman dan membaja menggunakan teknologi ini. Dengan ini barulah industri pertanian dan perladangan ini dijangka mampu menarik minat lebih ramai golongan muda untuk sama-sama mereka berkecimpung dalam bidang ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, antara perkara yang disentuh oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar di dalam pembentangan bajet ialah berkaitan kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA. Saya nak mengambil kesempatan dalam perbahasan kali ini dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri SS yang juga merupakan generasi kedua FELDA, yang juga membantu memudahkan usaha kurniaan tanah kepada rakan-rakan generasi kedua FELDA di tanah rancangan. Dan terima kasih juga di atas kesudian Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar sendiri hadir dan seterusnya menyampaikan Notis 5A kepada 317 pemohon yang layak mendapat lot tapak rumah generasi kedua di Gugusan FELDA Pemanis 1 dan 2 pada bulan September

yang lepas. Walaupun proses ini mengambil masa yang agak panjang, namun akhirnya ia dapat dilunaskan dengan baik dan memenuhi hasrat generasi kedua di sana.

Sebenarnya selain daripada FELDA Pemanis, ada beberapa lagi tanah rancangan yang masih menunggu kelulusan permohonan mereka. Dengan meletakkan sasaran 4,000 permohonan tahun hadapan melibatkan 15 buah tanah rancangan FELDA ini, suka Pemanis mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Yang Berhormat EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar agar dapat mewujudkan sebuah jawatankuasa khas ataupun badan bertindak di peringkat negeri mewakili generasi kedua FELDA bagi menangani isu-isu dan permasalahan berkaitan dengan permohonan tanah generasi kedua FELDA ini. Saya yakin dengan adanya jawatankuasa atau badan ini nanti, apa juga isu berkaitan dengan generasi kedua FELDA ini dapat diketengahkan dengan lebih jelas dan pastikan anggotanya nanti termasuk wakil-wakil agensi berkaitan dengan FELDA, daripada Pejabat Tanah Dan Galian, Jabatan Ukur Dan Pemetaan, kepimpinan tertinggi di FELDA, pengerusi-pengerusi badan bertindak atau wakil mereka turut bersama dalam jawatankuasa ini. Dan yang paling penting sudah tentulah semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mewakili kawasan-kawasan FELDA dijemput untuk sama di dalam perbincangan tersebut.

Secara tidak langsung, ini memberi isyarat bahawa kerajaan negeri benar-benar serius menangani dan menyelesaikan isu berkaitan dengan generasi baru FELDA ini. Namun ada satu lagi perkara yang paling penting dan sepatutnya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri, isunya ialah berkenaan dengan peruntukan infrastruktur untuk pembangunan kawasan perumahan generasi kedua FELDA ini. Tanah dah diberi, takkan perumahan tidak dapat dilaksanakan dengan baik?. Isu ini sering membelenggu dan menjadi antara punca kenapa pembangunan di kawasan yang telah diluluskan sebagai penempatan akhirnya gagal dibangunkan dengan baik. Rumah yang dibina tidak teratur, tiada perancangan secara berkelompok. Mana yang ada kemampuan, mereka akan membuat penempatan rumah mereka sendiri. Mana yang tidak ada kemampuan, dilihat kawasan tersebut terus semak dan mencacatkan proses pembangunan di kawasan FELDA tersebut.

Di sini, Pemanis ingin mencadangkan agar peruntukan berkaitan infra ini dibantu sama oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Desa Dan Wilayah, FELDA sendiri dan juga kerajaan negeri. Ini bermakna jika sekiranya ada kerjasama yang boleh dibuat terutamanya bersama dengan agensi perumahan di peringkat pusat seperti SPNB dan juga PRIMA, di peringkat FELDA melalui anak-anak syarikat FIC Supply atau di peringkat negeri sendiri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor atau PKPJ, maka kerajaan negeri boleh mempermudahkan urusan pembinaan rumah dan juga infra kepada para pemohon ini. Dan apa yang lebih penting juga, mereka yang kekurangan modal bagi membina rumah turut mendapat tempias apabila kerjasama ini dibentuk. Mereka boleh mendapatkan pinjaman melalui institusi perbankan sedia ada. Namun usaha ini perlulah dimulakan dan diperbincangkan secara serius oleh jawatankuasa bertindak generasi baru FELDA ini jika ia berjaya ditubuhkan kelak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi keempat ialah melibatkan pembangunan usahawan di mana inisiatif kedua ialah bagi perkembangan usahawan terutamanya melibatkan usahawan bumiputera. Rata-rata kita melihat kebanyakan usahawan bumiputera agak tertinggal memiliki aset seperti rumah kedai atau kawasan kilang yang mempunyai potensi perniagaan yang baik. Justeru, Pemanis ingin mencadangkan agar institusi seperti PUJB, JCorp, YPJ dan Majlis Agama Islam Johor yang mempunyai kemampuan membeli aset-aset rumah kedai dan kawasan kilang industri agar menyediakan pakej rent to own bagi membantu usahawan-usahawan yang sedia ada memiliki aset mereka sendiri dalam tempoh tiga hingga lima tahun berniaga. Kaedah ini dijangka dapat membantu usahawan terutamanya mereka yang berminat menjalankan perniagaan di kawasan-kawasan yang mendapat tarikan tertinggi seperti di pusat-pusat membeli belah atau kawasan perdagangan yang menjadi tumpuan. Jika kita ingin melihat kemampuan memiliki aset di kalangan usahawan bumiputera, ini adalah kaedah terbaik membantu

mereka memiliki tempat perniagaan sendiri. Beri kemudahan sewa dahulu, jika mampu boleh terus menyewa dan sehingga pada satu keadaan di mana perniagaan dan semakin stabil, maka bayaran sewa itu akan dikreditkan sebagai bayaran pendahuluan. Saya yakin, usahawan di luar sana berminat dan berhasrat agar perkara ini dapat dilaksanakan dan diperluaskan kepada mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bagi teras ketiga, melibatkan jaringan keselamatan sosial, Pemanis amat mengalu-alukan strategi pembangunan perumahan rakyat, terutamanya dengan inisiatif pertama menyediakan Rumah Mampu Milik Johor, RM5 juta diperuntukkan bagi pembinaan 50 rumah unit, Rumah Kasih Johor untuk golongan miskin dan miskin tegar. Namun, apa yang agak mengecewakan hari ini ialah apabila dibentangkan maklumat berkaitan perumahan di bawah kelolaan kerajaan negeri telah dijanjikan kelulusan pembinaan 15 unit rumah di bawah Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Johor tapi sehingga hari ini janji hanya tinggal janji, kelulusan yang telah diberikan telah pun diberikan namun oleh kerana birokrasi, pertukaran agensi yang bertanggungjawab menguruskan pembinaan ini masih juga gagal, maka pembinaan rumah untuk golongan ini terus tertangguh. Agak pelik juga kerana kelulusan dan bajet telah disediakan oleh pihak kerajaan negeri, acap kali bila bangkit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, jawapan yang diberikan agensi terbabit katanya masih belum bertindak, Pemanis ingin meminta penjelasan berkaitan dengan isu ini daripada pihak BPENJ. Ini secara tidak langsung walaupun jumlahnya kecil ialah daerah kita kecil, dapat 15 aje, impaknya sebenarnya cukup besar terutamanya bila melibatkan rakyat termiskin.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker melalui teras kelima membabitkan kelestarian alam sekitar, Kajian Pelan Induk Pembangunan Hijau Negeri Johor di bawah Program United Kingdom Partnering for Accelerated Climate Transitions, kerajaan negeri menyatakan akan mengkaji dan memperhalusi potensi Johor di dalam industri pasaran karbon, dan negara yang berjiran dengan kita iaitu Singapura pula telah mula mengambil inisiatif memperkenalkan sijil berkaitan dengan karbon kredit kepada syarikat yang memerlukannya. Justeru Pemanis ingin bertanya sejauh manakah kerajaan negeri di bawah agensi terlibat serius melaksanakan kajian dapatan terutama berkaitan pengurusan karbon kredit. Oleh kerana Johor mempunyai kapasiti keluasan hutan simpan yang cukup besar, adakah berbaloi jika dapat di terjemah dengan memastikan usaha berkaitan dengan pembalakan di kawasan-kawasan perhutanan ini digantikan dengan pengurusan kaedah karbon kredit. Jika ini boleh dilaksanakan, maka agenda rendah karbon seperti yang termaktub dalam Ucapan Bajet kelmarin dilihat antara potensi mensasarkan pengurangan pelepasan intensiti karbon menjelang tahun 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara aktiviti utama ekonomi di daerah Segamat ini adalah penanaman getah. Sejak sekian lama pekebun kecil getah di DUN Pemanis ini berada dalam daerah Segamat memainkan peranan yang cukup signifikan dalam memacu ekonomi daerah Segamat. Dan sebagaimana kita sedia maklum di Malaysia pada setiap hujung tahun kita mengalami musim tengkujuh sekali gus menyebabkan pekebun kecil getah ini tidak dapat menoreh dan akan hilang mata pencariannya. Ini akan memberikan kesan kepada kehidupan seramai 18,507 orang pekebun kecil di seluruh negeri Johor. Apakah usaha-usaha dan inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah ini melalui tempoh yang sukar sepanjang 2 hingga 3 bulan ini? Selain daripada itu, pekebun kecil ini juga dihimpit trend menurun harga getah SMR 20 sejak Julai 2022, harga purata setinggi RM7.40 pada Februari 2022 telah menurun kepada hanya RM5.79 pada Disember 2022. Ini adalah satu trend yang amat mendukacitakan kita, semestinya kita mengambil suatu inisiatif bagi menyediakan pendapatan alternatif sebagai contoh bidang yang berkaitan dengan keusahawanan kepada pekebun kecil getah supaya trend penurunan harga ini tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tingal satu minit. Dalam strategi ketiga melibatkan infrastruktur bekalan air, peruntukan sebanyak RM280 juta kepada Ranhill SAJ bagi

penggantian paip sepanjang 234 kilometer, Pemanis ingin memohon jasa baik untuk dimasukkan kawasan Kampung Jabi yang sering mengalami masalah berkaitan tekanan air yang amat rendah kerana faktor sistem perpaipan yang sangat lama dan usang sehingga apabila tekanan tinggi dilepaskan banyak kawasan paip itu akan pecah dan kawasan tersebut mengalami masalah air.

Pemanis juga ingin mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan kerajaan memilih daerah Segamat untuk menubuhkan Jauhar Childcare Centre ataupun JCC dengan peruntukan sebanyak RM535,000.00. Lokasinya juga agak strategik di kawasan bandar, juga di atas pengumuman gembira Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam termasuk guru KAFA, petugas PDK, guru Tadika Islam Johor dan juga kenaikan elaun kepada guru al-Quran dan keprihatinan kepada para hufaz, ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri terus peka dan cakna kepada golongan ini. Cuma YB Datuk Speaker, cuma YB Datuk Timbalan Speaker, imam-imam surau yang aktif, imam-imam surau yang aktif dan suraunya berkebenaran untuk mereka melaksanakan solat Jumaat jika sekiranya mereka ada tambahan peruntukan elaun kepada mereka saya rasa ia cukup membantu. Apatah lagi bukan semua surau diberikan kebenaran yang sama, sudah tentu tanggungjawab dan kerjanya sudah hampir sama dengan masjid. Pemanis amat berharap perkara ini diperhalusi kerajaan negeri dan berbincang dengan kerajaan pusat untuk membantu petugas-petugas di surau yang aktif dan berstatus kebenaran solat Jumaat.

Sikit lagi Datuk Timbalan Speaker, juga ada permintaan daripada ibu bapa agar anak-anak mereka yang bersekolah di peringkat Darjah Khas agar dapat dipinda hari pembelajarannya daripada hari Sabtu kepada hari Khamis, ini memudahkan perancangan waktu cuti oleh kerana di Johor waktu cutinya dimaksimumkan hanyalah pada hari Sabtu. Turut saya diminta bawa dalam perbahasan kali ini adalah cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor untuk mewujudkan Sistem Perkhidmatan Awam Guru Agama atau SPAG untuk mengatasi pemasalah kelambatan. Lambat rupanya nak lantik guru-guru di sekolah agama di negeri Johor ini. Juga ada permintaan setempat agar status hak milik masjid, surau, sekolah agama, tanah wakaf di kawasan FELDA ini diletakkan tadbir urusnya di bawah Jabatan Agama Islam Johor. Dan yang lain-lain ni sebenarnya banyak lagi Datuk Timbalan Speaker, saya ingat…

Timbalan Speaker

Pendekkan.

Tuan Anuar bin Abd ManapUMNO · BNPemanis

Itu sahaja untuk petang ini, terima kasih di atas keizinan untuk saya menyampaikan ucapan pada hari ini pun sama dengan rakan-rakan yang lain, kita harap apa juga permintaan kami di peringkat negeri Johor ini terutamanya yang melibatkan kerajaan pusat jangan kita ini dipandang enteng ataupun mungkin dijadikan sebagai anak tiri tapi dilihat apa yang diminta oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat terutamanya di negeri Johor ini sebagai usaha untuk memastikan Johor terus menjadi Permata Selatan, Pemanis mohon menyokong. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam Pemanis. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok 5 Disember 2022, jam 9.30 pagi. Terima kasih.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.