Johor · 6 December 2022

1st session, 4th meeting · 102 turns · 33,255 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, sepanjang 2 hari perbahasan, saya dapati Ahli-Ahli Yang Berhormat telah membangkitkan beberapa isu penting, selain daripada isu-isu kawasan yang sememangnya menjadi tanggungjawab Wakil Rakyat bangkitkan di Dewan yang mulia ini. Antara isu penting ialah pendedahan 157,000 unit rumah yang gagal disiapkan oleh pemaju. Apa yang mengejutkan ada 8,000 senarai waiting list dengan izin, sedangkan rumah yang tidak terjual overhang harganya ialah RM500,000.00 ke atas.

Ahli-Ahli Yang Berhormat juga membangkitkan isu climate change yang perlu ditangani awal sebagaimana Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor membacakan pengajaran dari Surah Yusuf mengenai persiapan awal sebelum menghadapi tahun bencana.

Paling penting juga ialah hubungan federal negeri. Semoga kewujudan kerajaan perpaduan membawa manfaat lebih besar kepada rakyat Johor, sesuai dengan kaedah syariah la darar wa la dirar, “menyampai itu lebih baik daripada kemudaratan, maka kemudaratan wajib dihilangkan”. Sebab itu pandangan mengenai kaukus federal negeri wajar terus dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sudah tentu ia membabitkan isu-isu peruntukan besar untuk menyelesaikan masalah yang tidak ada penghujung seperti isu bekalan air dan kemudahan internet.

Semoga jabatan dan agensi seperti JPP, MCMC, SAJ Ranhill mengambil berat isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.

Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk membantu menentukan hala tuju anak-anak muda yang melanjutkan pengajian ke madrasah yang mana mereka ini tidak mendapat pendidikan atau sijil persekolahan kerajaan?

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat).

YB Tanjung Surat bertanya kepada saya, sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk membantu menentukan hala tuju anak-anak muda yang melanjutkan pengajian di madrasah, yang mana mereka ini tidak mendapat pendidikan atau sijil persekolahan kerajaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ilmu pengetahuan dan merancakkan pendidikan adalah sebahagian daripada syiar Islam itu sendiri. Saya memetik Surah Al-Haj ayat 32 (bacaan surah) “demikianlah perintah Allah dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor sentiasa mengambil berat dan perhatian terhadap anak-anak kita di madrasah terutamanya di sekolah-sekolah tahfiz swasta di negeri Johor.

Selain bantuan-bantuan pengurusan dan pembangunan dari pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor dan JAKIM sendiri, kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor berusaha menyelaraskan kurikulum agama dan akademik di seluruh institusi tahfiz negeri Johor agar mereka mendapat pendidikan agama dan akademik yang seimbang bagi meneruskan hala tuju mereka di peringkat pengajian yang lebih tinggi sama ada diploma, ijazah seperti di Kolej Pengajian Islam Johor, MARSAH itu sendiri.

Untuk makluman, pihak Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor sedang membangunkan kurikulum tahfiz yang merangkumi subjek Al-Quran, akademik dan dini agama, yang akan diselaraskan penggunaannya oleh semua institusi tahfiz swasta negeri Johor. Kurikulum ini dibangunkan secara bersama dengan Persatuan Institusi Tahfiz Johor, Pintar Johor sebagai pihak yang mewakili madrasah dan pondok-pondok tahfiz. Di antara persetujuan yang telah pun dicapai adalah seperti berikut:

Saya bacakan Datuk Speaker, bagi bidang Al-Quran akan ada peringkat hafazan dan tajwid. Pengajiannya adalah hafazan dan tajwid, masa yang bakal diperuntukkan adalah selama 25 jam. Bagi bidang dini agama, bagi peringkat rendah akan merangkumi subjek akidah, fiqh ibadah, hadis, sirah, akhlak, bahasa arab, jawi dan khat serta Kesultanan Islam Johor, masa yang bakal diperuntukkan seminggu 4 jam. Bagi madrasah menengah, subjek yang termasuk dalamnya sama sepertimana subjek rendah tadi, masa yang diperuntukkan seminggu 3 jam.

Bagi bidang akademik pula, madrasah rendah akan diminta untuk mengikuti pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dengan peruntukan jam yang tertentu. Manakala di peringkat sekolah menengah pula, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Selain itu, Bahagian Pendidikan Islam telah berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi menjayakan program intervensi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Model Bekok dan Model Tuisyen.

Bagi Model Bekok, pelajar-pelajar tahfiz swasta akan belajar dan menduduki SPM sebagaimana pelajar-pelajar sekolah menengah yang lain. Sekolah-sekolah menengah yang terlibat iaitu SMK Bekok, Segamat; SMK Benut, Pontian; dan SMK Simpang Renggam, Kluang.

Bagi Model Tuisyen pula, pelajar tahfiz akan belajar subjek-subjek SPM secara tuisyen di mana pusat tuisyen akan dibuka di suatu tempat atau guru-guru Kementerian Pendidikan Malaysia akan mengajar di madrasah tahfiz itu sendiri, yang mana madrasah tahfiz yang berhampiran boleh hadir ke kelas tuisyen yang dibuka itu. Setakat ini, ia melibatkan 16 kali pertemuan dan 2 jam masa belajar yang diperuntukkan bagi setiap kali pembelajaran.

Untuk makluman Dewan yang mulia, bagi tahun 2021 seramai 220 orang murid telah mengikuti program tersebut. Manakala, seramai 254 orang murid telah terlibat bagi tahun ini dan dijangka angka itu akan bertambah pada tahun hadapan selaras dengan penegasan dan pelaksanaan program ini.

Di samping itu, Maktab Adabi Muar turut menawarkan pengajian SPM kepada murid dari institusi tahfiz berhampiran. Calon SPM di maktab tersebut bagi tahun 2021 adalah seramai 62 orang dan 68 orang bagi tahun ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan sekalian, bagi Model Bekok sebanyak RM75,000.00 setahun diperuntukkan daripada Perbadanan Islam Johor untuk 3 buah sekolah yang saya sebutkan tadi. Manakala Model Tuisyen, perbelanjaan keseluruhan disalurkan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak RM1,500.00 untuk seorang pelajar yang berdaftar. Bermaksud anak-anak tahfiz kita sentiasa digalakkan dan disyorkan untuk tidak hanya mengutamakan pendidikan hafazan Quran sahaja semata-mata, tetapi perlulah digalakkan bahkan ditekankan untuk juga mengambil pendidikan akademik.

Untuk makluman Dewan yang mulia, terdapat 30 buah sekolah daripada 125 madrasah tahfiz yang berdaftar telah melaksanakan kurikulum kebangsaan di peringkat SPM sama ada secara penuh, tuisyen mingguan atau mengikuti pengajian di sekolah menengah berhampiran. Sementelah lagi, terdapat juga sebuah institut tahfiz yang melaksanakan Program TVET (Technical and Vocational Education Training) dengan izin iaitu Institut Tahfiz Kemahiran (INTAKE) Jawahir yang beroperasi di Parit Raja, Muar.

Kita juga menyelusuri satu kertas cadangan untuk memperbanyakkan lagi sekolah-sekolah tahfiz menyertai program TVET ini sekiranya sebahagian daripada anak-anak kita memilih kemahiran berbanding akademik. Yang pasti dan pentingnya anak-anak tahfiz tidak akan dibenarkan hanya semata-mata keluar daripada pusat tahfiz berbekalkan ilmu Al-Quran tanpa ada ilmu keduniaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pusat institut tahfiz Sijil Pelajaran Malaysia merupakan antara KPI yang saya laksanakan bermula tahun 2021 maaf 2023. Program institut tahfiz akan mewajibkan pelajar tahfiz yang berfokus daripada madrasah tahfiz swasta berumur 17 tahun ke atas untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Mudah-mudahan anak-anak tahfiz kita satu hari nanti bukan hanya keluar sebagai imam ataupun pendidik, pendakwah agama semata-mata. Saya secara peribadi Datuk Speaker, mendoakan bahkan akan memulakan usaha-usaha ini untuk biarlah satu hari nanti lebih ramai anak-anak tahfiz kita juga yang menjadi Wakil-Wakil Rakyat. Bahkan saya sendiri bercita-cita agar satu hari nanti biarlah EXCO Agama ini orangnya hafaz al-Quran, saya akan merasa sangat bangga Datuk Speaker sekiranya usaha kecil kita ini akan menjadikan anak-anak tahfiz kita, ahli Quran suatu hari nanti merupakan pemimpin-pemimpin masyarakat, mereka juga menjadi sebahagian pentadbir-pentadbir negeri dan insya-Allah ketika itu akan termaktublah apa yang kita idamkan, baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur, negara yang baik negeri yang baik, bahkan mendapat pengampunan Allah SWT. Terima kasih Datuk Speaker, saya menjawab.

Speaker

Ya jemput Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Terima kasih YB Datuk Speaker. Terima kasih kepada sahabat EXCO Agama atas penjelasan yang sangat hebat tadi. Soalan tambahan saya, bagi mereka-mereka ini sebahagian di dalam pusat tahfiz atau madrasah yang telah habis belajarnya, adakah kerajaan negeri merancang untuk menempatkan mereka ini di masjid-masjid atau institusi agama negeri Johor kerana kita masih lagi memiliki mahukan imam-imam muda di masjid-masjid yang sedia ada?

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Atas pertanyaan itulah juga Yang Berhormat Datuk Speaker menjadi KPI saya bagi tahun hadapan dan tahun yang berikutnya. Bahawa, anak-anak tahfiz ini nanti akan diberikan laluan untuk meneruskan pengajiannya di MARSAH terlebih dahulu. Kerana di MARSAH kita, akan ada sijil sekurang-kurangnya dan juga diploma, bagi anak-anak ini memperhalusi kelayakan mereka sebelum mereka diterima menjadi imam atau pegawai-pegawai masjid yang bertauliah. Saya kirakan ilmu hafazan semata-mata mesti

dilengkapkan dengan beberapa lagi banyak kemahiran supaya nanti ahli Quran yang kita lahirkan, bukan sahaja dapat menjawab isu-isu akhirat tetapi juga mampu mendepani cabaran keduniaan. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Jemput Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana dapat memberikan keprihatinan yang cukup baik sebenarnya kepada sekolah-sekolah tahfiz.

Cuma soalan tambahan saya Datuk Speaker, adakah kerajaan turut sama memantau keadaan persekitaran dan kemudahan yang terdapat di sekolah-sekolah tahfiz persendirian ini terutamanya, oleh kerana kita lihat hari ini antara masalah yang sering menjadi perhatian masyarakat ialah berkaitan dengan soal keselamatan bangunan terutamanya bila berlakunya kebakaran dan sebagainya. Jadi bagaimana, adakah kerajaan turut melihat dan memerhatikan kemudahan-kemudahan dan juga keadaan sekolah-sekolah tahfiz yang ada pada hari ini terutamanya di negeri Johor ini? Terima kasih Datuk.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih YB Pemanis. Dari 125 sekolah tahfiz yang berdaftar, kesemuanya telah pun berada dalam pantauan dan juga semakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Speaker. Dan kita yakin dan juga pasti, madrasah ini sentiasa akan memberikan penarafan yang baik kepada kemudahan mereka walaupun secara berperingkat-peringkat. Kita akui YB Pemanis, bahawa keselamatan anak-anak menjadi timbang tara yang tidak boleh kita nafikan keutamaannya. Maka, pantauan secara berkala dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk sekolah-sekolah tahfiz ini juga boleh memajukan sebarang peruntukan-peruntukan yang perlu untuk kita bantu sekiranya bertepatan dengan keperluan mereka, Datuk Speaker. Dalam masa yang sama kita sentiasa memastikan sekolah-sekolah tahfiz ini dalam segi tabungannya dan pungutan dermanya mestilah digunakan secara baik bagi manfaat dan kebajikan pelajar itu sendiri. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.

Adakah Jabatan Kemajuan Masyarakat mempunyai perancangan yang rapi untuk memastikan tenaga kerja yang cukup dan bantuan dapat disalurkan dengan segera bagi menghadapi bencana banjir?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Izinkan saya menjawab. Soalan Pasir Raja adalah, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa mengambil berat kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir sebelum monsun timur laut berlaku. Kesiapsiagaan ini merangkumi penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS), penyelenggaraan logistik, penyediaan stok berkala bencana di semua stor bencana daerah, mengemas kini senarai pembekal makanan bermasak di semua daerah dan pengemaskinian senarai petugas yang melibatkan warga kerja jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sukarelawan Kebajikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November 2022, seramai 457 orang petugas yang melibatkan pegawai dan kakitangan dari Unit Bencana, Pegawai Psikologi iaitu Psychology Support Team, dengan izin dan Sukarelawan Kebajikan di 10 daerah. Tambahan jumlah warga kerja di ibu pejabat JKM negeri Johor dan 7 institusi kebajikan di negeri Johor iaitu seramai 413 orang yang juga akan bertugas di lapangan sekiranya ada keperluan. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri

Johor juga sentiasa menjalinkan kolaborasi yang erat bersama agensi-agensi yang berkaitan supaya gerak kerja penyaluran bantuan-bantuan berjalan lancar sebaik sahaja PPS itu diaktifkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan sekalian, bagi memastikan kecekapan dalam penyaluran bantuan di PPS, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah melantik Ahli Jawatankuasa PPS seperti berikut :

1. Jawatankuasa Pendaftaran Mangsa. 2. Jawatankuasa Bekalan Keperluan. 3. Jawatankuasa Makanan. 4. Jawatankuasa Kebersihan dan Kesihatan. 5. Jawatankuasa Keselamatan. 6. Jawatankuasa Aktiviti. 7. Jawatankuasa Sukarelawan.

Senarai keanggotaan bagi setiap jawatankuasa yang dilantik adalah sekurang-kurangnya 5 orang dan bergantung kepada kapasiti PPS. Setiap jawatankuasa dianggotai oleh jabatan dan agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam, Polis DiRaja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Pengurusan Bencana Daerah, Pejabat Daerah, Komuniti Setempat, Sukarelawan dan mana-mana pertubuhan sukarela setempat. Kolaborasi ini dapat melancarkan dan mempercepatkan penyaluran bantuan di PPS dan mengukuhkan tenaga kerja bagi mengurus mangsa bencana yang dipindahkan di PPS.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran seluruh agensi di dalam pengurusan mangsa termasuk pengurusan bantuan di PPS, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan latih amal dan simulasi pengurusan PPS pada September 2022 yang melibatkan penyertaan agensi-agensi seperti APM, BOMBA, Pejabat Kesihatan Daerah, PKD, PBT, JKR, PDRM, Sukarelawan Komuniti Setempat dan pihak sekolah yang bertujuan untuk memastikan semua agensi memahami dengan jelas peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melancarkan pengurusan mangsa yang dipindahkan ke PPS.

Yang Berhormat Datuk Speaker serta Ahli Dewan yang mulia ini, sumber data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sehingga September 2022, jumlah pusat pemindahan sementara ini mengikut kapasiti mangsa 2022 atau 2023 adalah sebanyak 777 PPS dengan kapasiti 194,195 mangsa bagi semua daerah dalam negeri Johor. Manakala jumlah keseluruhan PPS yang aktif di negeri Johor adalah sebanyak 151 PPS dengan kapasiti 36,918 mangsa. PPS yang aktif ini adalah PPS yang kerap dibuka dalam tempoh 5 tahun iaitu 2017 hingga 2022.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan fasiliti penyimpanan bantuan bencana. Pertama, satu fasiliti di depoh simpanan keperluan bencana daerah Muar. Kedua, stor bencana negeri di daerah Johor Bahru dan Mersing, 10 stor mini bencana daerah dan 12 stor pangkalan hadapan di daerah Kluang dan Mersing. Suka saya kongsikan kepada Dewan yang mulia ini bahawa senarai pembekal-pembekal makanan kering dan jumlah pembekal bermasak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat secara keseluruhan adalah sebanyak 75 pembekal. Manakala untuk pembekal makanan bermasak adalah sebanyak 70 pembekal bagi setiap daerah negeri Johor. Ingin saya berkongsi lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa sebagai persiapan menghadapi bencana ini, barang-barang keperluan seperti makanan kering, air mineral, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita, tuala mandi telah dihantar ke depoh mini bagi seluruh daerah bagi memastikan proses penghantaran kepada mangsa berjalan lancar dan pantas. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput, Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih kepada YB EXCO yang telah memberikan jawapan yang cukup jelas. Kebiasaannya bila berlaku banjir, mangsa akan dipindahkan ke PPS secepat mungkin. Soalan tambahan saya, apakah langkah proaktif yang telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor bagi memastikan bantuan makanan bermasak dapat disampaikan dalam tempoh 24 jam di PPS yang mengalami terputus hubungan bila banjir berlaku. Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Pasir Raja. Izinkan saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Pasir Raja. Untuk makluman Ahli Dewan yang dihormati, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa prihatin kepada mangsa bencana yang dipindahkan ini. Dalam hal ini, kerajaan negeri Johor telah memperkenalkan dan membiayai kos pembelian makanan retort untuk dibekalkan kepada mangsa bencana di PPS dalam tempoh 24 jam PPS itu diaktifkan. Kelebihan makanan retort ini adalah Yang Berhormat Speaker, adalah cepat dan mudah disediakan serta terjamin dari segi kebersihannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, makanan retort ini diagihkan kepada mangsa dipindahkan ke PPS yang terputus hubungan ketika berlaku banjir. Namun begitu, makanan ini hanya akan dibekalkan seandainya pembekal tidak dapat menghantar makanan bermasak dalam tempoh yang ditetapkan. Yang Berhormat Datuk Speaker inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bantuan JKM kepada mangsa banjir, mangsa bencana di masa akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pasir Raja, izinkan saya menjelaskan sedikit apa itu makanan retort. JKM telah menyediakan makanan retort kepada semua mangsa bencana dalam tempoh 24 jam. Pusat pemindahan sementara itu diaktifkan oleh kerajaan negeri Johor. Cadangan ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBP Bil. 2/2022) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 14 September 2022. Teknologinya adalah Yang Berhormat Datuk Speaker, pembungkusan makanan itu menggunakan retort pouch untuk menjamin mutu dan kesegaran makanan serta zero bacteria. Makanan yang telah disediakan akan di kedap, seal dengan izin dan disteril dengan mesin retort. Jangka hayat makanan boleh menjangkau hingga 2 tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasa serta tidak memerlukan bahan pengawet. Ianya dikenali sebagai makanan sedia dimakan, dengan izin ready to eat atau terlebih dahulu melalui proses penyediaan atau masakkan. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat Bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan nombor 3. Terima kasih.

Di DUN Sungai Balang mempunyai kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan 640 hektar. Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menjadikan sawah ini sebagai tumpuan dalam usaha sekuriti makanan dan peningkatan hasil pengeluaran agar dapat menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan dalam negeri?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat ADUN Sungai Balang. Sebelum saya menjawab soalan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya membetulkan sedikit kesilapan pada soalan ini. Di DUN Sungai Balang mempunyai

kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan 640 hektar. Mengikut rekod kami, keluasan sawah padi di kawasan DUN Sungai Balang bukanlah 640 hektar seperti dinyatakan tetapi 364.22 hektar. Dan, kawasan yang aktif dengan penanaman padi ini ialah 294 hektar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, umumnya keluasan sawah padi di Johor adalah kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang mempunyai kawasan jelapang padi seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Walau bagaimanapun, sawah padi di Johor ini dikategorikan sebagai sawah luar jelapang. Namun, kerajaan negeri Johor tetap menjadikan Agenda Pembangunan Periuk Nasi Selatan sebagai keutamaan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor. Umumnya, negeri Johor mempunyai 10 buah kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan berjumlah 2,254.39 hektar. Keluasannya melibatkan daerah Tangkak, 5 sawah dengan keluasan 842.97 hektar; Muar, 1 sawah dengan keluasan 364.22 hektar; Mersing, 2 sawah dengan keluasan 549.38 hektar; Batu Pahat, 1 sawah dengan keluasan 141.7 hektar dan daerah Kluang, 1 sawah dengan keluasan 356.12 hektar. Ianya melibatkan pesawah seramai lebih kurang 875 orang yang aktif seluruh negeri Johor.

Walaupun sawah padi di negeri Johor dikategorikan sebagai sawah padi di luar jelapang, ianya tetap menjadi fokus kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluarannya. Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah melaksanakan Program Insentif Peningkatan Hasil Padi menerusi 6 program atau projek dengan jumlah keseluruhan RM3.2 juta kepada pesawah sama ada secara individu atau yang dijalankan secara berkelompok. Ianya merangkumi insentif seperti :

1. Insentif Pengapuran Tanah Sawah dan Input Tambahan. 2. Insentif Peralatan Tanah Sawah. 3. Insentif Program Mekanisasi. 4. Insentif Pembaikan Infrastruktur Sawah. 5. Insentif Pengurusan Air Sawah. 6. Insentif Kawalan Bersepadu dan Pengurusan Tanah serta pembajaan.

Pada tahun 2021, purata hasil dan pengeluaran sawah padi di Johor adalah sebanyak 3.683 tan per hektar dan nilai purata tersebut adalah melepasi standard purata nasional yang ditetapkan iaitu 3.2 hektar, maaf, iaitu 3.2 tan per hektar.

Untuk makluman Dewan, pengeluaran hasil sawah di Johor menunjukkan peningkatan jika dibuat perbandingan antara musim utama tahun 2020 dan 2021 dengan musim utama 2021 dan 2022. Untuk rekod, pada tahun 2021 dan 2022, jumlah hasil sawah adalah berjumlah 4,746 tan, manakala musim utama tahun 2021 dan 2022 jumlah hasil sawah adalah 6,225 tan bermusim. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 30.1% dan jika dibuat perbandingan pula, hasil purata mengikut hektar musim utama tahun 2019 dan 2020, setiap hektar menghasilkan 3,180 kg atau 3.18 tan. Musim utama tahun 2021, 3,245 kg per hektar dan musim utama tahun 2021 dan 2022 meningkat kepada 4,264 kg per hektar, iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 31.4% per hektar. Peningkatan hasil ini adalah disebabkan faktor komitmen petani dalam menguruskan sawah yang lebih teratur dan sistematik serta faktor pelaksanaan insentif projek pembangunan sawah padi periuk nasi selatan sebagaimana yang dinyatakan di awal tadi.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Dewan dan Sungai Balang pembangunan di sawah Sungai Balang yang melibatkan 92 orang pesawah turut tidak terkecuali dan menjadi fokus dalam usaha memperkasakan hasil, pengeluarannya. Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Sungai Balang sebanyak RM1,008,630.00 telah diperuntukkan bagi pembangunan sawah padi di Sungai Balang, Muar pada tahun 2022 ini, menerusi berbagai jenis projek atau insentif pembangunan.

Antaranya ialah satu unit mesin mini harvester bernilai RM138,200.00. Yang kedua satu unit traktor 4 roda bernilai 80 hose power bernilai RM120,275.00. Ketiga satu unit traktor Rotor bernilai RM15,680.00. Yang keempat satu unit traktor PLO bernilai RM9,300.00. Yang kelima satu unit dron bernilai RM70,000.00 dan lain-lain insentif lain.

Impaknya Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan di kawasan Sungai Balang ini pada tahun pada musim 2020 dan 2021 keluarannya adalah sebanyak 941 matrik tan. Manakala pada tahun pada musim 2021 dan 2022 meningkat kepada 1,287 matrik tan dan meningkat sebanyak 346 matrik tan atau 36.7%. Dalam usaha menggalakkan pesawah untuk meningkatkan komitmennya bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut memberi insentif. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) merupakan agensi pelaksana kepada skim bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada pesawah dalam membantu meningkatkan pengeluaran hasil padi. Antaranya sebagaimana berikut:-

1. Skim Baja Padi kerajaan Persekutuan 2. Skim Insentif Pengeluaran Padi 3. Insentif Pembajaan Kepada Pesawah

Jumlah keseluruhan nilai bantuan tersebut kepada pesawah mengikut hektar adalah sebanyak RM1,607.92. Yang Berhormat Datuk Speaker, memang tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa isu dan masalah yang berlaku dalam usaha untuk membangunkan periuk nasi selatan ini. Antaranya ialah PH atau kadar keasidan air dan tanah sawah yang rendah atau masam terutamanya yang berlaku di sawah Sagil dan sawah Sungai Balang. Yang kedua tanah jerlus di beberapa bahagian sawah seperti tanah sawah di sawah Sungai Balang dan Endau.

Yang ketiga, sawah Air Papan yang hanya dilaksanakan satu musim kerana tiada sistem pengairan utama dan yang keempat masalah banjir yang kerap berlaku terutama di sawah Sagil, Batu Pahat. Pihak kerajaan negeri menerusi agensi-agensi yang berkaitan akan terus komited dalam memperkasakan aktiviti sawah padi sebagai salah satu fokus dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor.

Pihak komuniti pesawah juga disarankan untuk sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan aktiviti penanaman sawah padi ini agar segala perancangan objektif yang disasarkan tercapai. Sekian, terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Buloh Kasap, boleh ke tanam padi atas bumbung? Dulu ada seorang bekas Menteri Besar mencadangkan tanam padi atas bumbung. Ada soalan tambahan. Saya jemput Yang Berhormat Mahkota.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNParit Raja

Yang Berhormat Datuk Speaker dengan izin, soalan Mahkota nombor 4.

Sejauh mana konsep Keluarga Malaysia ini dilihat berjaya dalam usaha untuk menyatupadukan penduduk di Johor yang rata-ratanya tinggal secara berkelompok dalam satu-satu kawasan khususnya di kawasan luar bandar seperti di DUN Mahkota.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok, terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Mahkota tak ada ke?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Dia tak ada, jadi saya teruskan, terima kasih Datuk Speaker. Salam Perpaduan. Salam Bangsa Johor. Salam Maju Johor. Untuk makluman YB Mahkota dan juga sesi Dewan konsep keluarga Malaysia yang telah

dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob pada 23 Oktober 2021 yang menekankan kepada 3 kata kunci iaitu Kerangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Sebagai menyokong aspirasi Keluarga Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab dalam memperkukuhkan agenda Perpaduan Nasional telah mengambil inisiatif menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia.

Melalui pembangunan KAMI Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia yang merupakan inisiatif berfokus dalam meraikan kepelbagaian di negara ini, berlandaskan 3 prinsip asas dalam hubungan antara etnik iaitu faham, hormat dan terima. Mudah-mudahan konsep Keluarga Malaysia yang baik ini dapat diteruskan oleh kerajaan yang baru. Pelan KAMI ataupun Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021 hingga 2025 telah dilancarkan pada 28 November 2021 yang memberi tumpuan kepada 4 dimensi iaitu Karib, Accessibility, Majmuk dan Inclusivity yang ringkasnya dinamakan sebagai KAMI sebagai simbolik rasa kebersamaan dan meraikan perbezaan yang ada.

Pelan ini juga memberi fokus kepada perlaksanaan program dan aktiviti di semua peringkat masyarakat di mana hasilnya tapak-tapak integrasi baharu perpaduan akan terus bercambah, interaksi dan toleransi akan terus terjalin dan muhibah akan terus bersemarak. Sebagai menterjemahkan KAMI pihak kementerian telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia, bermula pada bulan Jun 2022.

Program ini bertujuan untuk memupuk semangat persefahaman dan muhibah antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini ke arah merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia. Program Semangat Uniti Keluarga Malaysia diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara telah melibatkan kedua-dua agensi di bawahnya iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selaku sekretariat program serta Bahagian Kampung Baru Cina yang melaksanakan program-program kesejahteraan komuniti.

Untuk makluman seisi Dewan sekalian sebanyak 3 kali program Semarak Uniti Keluarga Malaysia telah dijalankan di negeri Johor. Butiran program seperti berikut:

1. Dataran Tanjung Emas Muar pada 18 - 19Jun 2022 2. Dataran Tanjung Sedili, Kota Tinggi pada 23 - 24 Julai 2022 3. Dataran Gemilang Yong Peng, Batu Pahat pada 20 Ogos 2022

Selain itu juga, Kementerian Perpaduan Negara telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000.00 kepada setiap daerah di negeri Johor untuk menyemarakkan lagi pelaksanaan program ini di mana yang mana akan dilaksanakan di setiap daerah dalam negeri Johor. Saya ambil kesempatan ini juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Menteri Perpaduan Negara iaitu Datuk Halimah Sadique kerana telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 kepada daerah-daerah dalam negeri Johor.

Atas dasar ini konsep pelaksanaan Semarak Uniti Keluarga Malaysia dilihat sebagai usaha yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan budaya di negara ini termasuk rakyat Johor yang mempunyai berbagai latar belakang. Inisiatif kerajaan negeri Johor pula, atas inisiatif kerajaan negeri Johor Bahagian Kampung Baru telah diberikan tanggungjawab di bawah portfolio saya sebagai menaik taraf 124 Kampung Baru dalam negeri Johor. Kerajaan negeri Johor telah melantik seramai 124 Ketua Kampung Baru dan 10 orang ketua masyarakat India bagi turut membantu dan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri dalam melaksanakan program di peringkat akar umbi. Itu saja jawapan saya, sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 5.

Apakah usaha pihak kerajaan negeri dalam menarik pelabur ke Johor terutama di daerah-daerah Johor Utara?

Speaker

Tangkak mana? Ok.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri menerusi Invest Johor sebagai agensi utama kerajaan negeri atau focus point sebagai sektor bagi sektor pelaburan negeri ini sentiasa menggembleng usaha dan tenaga untuk menarik pelaburan baharu sama ada dari dalam mahu pun luar negara agar limpahan ekonomi dari hasil pelaburan yang berjaya dibawa masuk dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga negeri Johor.

Berteraskan strategi pembangunan merentas daerah, Invest Johor akan memfokuskan kekuatan, keunikan sektor ekonomi di setiap daerah yang berbeza, agar penggunaan sumber secara optimum dapat meningkatkan faedah ekonomi dan daya saing setiap daerah. Bagi memangkin usaha tersebut Invest Johor giat menjalankan kerjasama bersama jabatan atau agensi yang berkaitan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri dan juga Pihak Berkuasa Tempatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri telah pun merangka serta memperkenalkan beberapa pelan perancangan bagi mewujudkan pertumbuhan seimbang dan menyeluruh selain memfokuskan ekonomi mengikut kekuatan wilayah ataupun daerah. Merujuk kepada Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2030 di bawah Teras Pemerkasaan Ekonomi dan Dasar 1 iaitu Pembangunan Berasaskan Wilayah, kerajaan akan melaksanakan projek-projek pemangkin ekonomi dengan menumpukan penggunaan sumber ekonomi optimum yang boleh dibuat pada skala yang lebih besar selain pelan perbandaran yang lebih terangkum dan juga menyeluruh.

Bagi makluman Yang Berhormat Tangkak dan juga Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, antara projek pemangkin ekonomi yang sedang giat dibangunkan bagi zon atau wilayah di utara negeri Johor yang merangkumi daerah Segamat, Tangkak dan Muar adalah Pagoh Special Economic Zone. Pembangunan Pagoh Special Economic Zone memberi fokus kemajuan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 di mana ianya turut menempatkan Hab Pengajian Tinggi Pagoh yang merupakan Pusat Pengajian Bersepadu pertama di rantau Asia Tenggara dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030. Pagoh Special Economic Zone juga merupakan inisiatif bersama kerajaan dalam memastikan bahagian lain di utara negeri Johor tidak ketinggalan terutamanya dalam industri berteknologi tinggi.

Berbagai inisiatif telah pun disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui MIDA dan sebagainya untuk kawasan ini. Seterusnya merujuk kepada dasar memperkasa sektor-sektor ekonomi di bawah teras pemerkasaan ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor, kerajaan negeri turut merancang untuk mewujudkan kawasan khas subsektor bagi daerah-daerah yang berkenaan mengikut kekuatan sumber ekonomi di wilayah terbabit. Sektor pertanian merupakan aktiviti ekonomi teras yang merentasi 3 daerah tersebut.

Justeru kerajaan negeri telah meletakkan beberapa sasaran pembangunan mampan bagi ke tiga-tiga daerah terbabit. Antara visi pembangunan membabitkan wilayah-wilayah di utara negeri Johor yang disasarkan adalah menjadi Muar dan Segamat sebagai hub pengeluaran lembu daging dan tenusu di Malaysia, menjadikan daerah Segamat sebagai hab pertanian dan industri asas tani dan memposisi daerah Segamat sebagai Agriculturral Power House Johor dan susulan kemasukan daerah Segamat dalam kawasan East Coast Economic Region dan seperti mana Yang Berhormat Tangkak dan Yang Berhormat sedia maklum bahawa kerajaan negeri melalui JCorp telah pun berusaha untuk memperkenalkan Muar Furniture Park dan juga dalam perancangan adalah Kawasan Perindustrian Gambir. Sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Apakah tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di Pangsapuri Hajah Hasnah, Pangsapuri Desa Melayu dan Pangsapuri Desa Jaya di Johor Bahru?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah untuk penempatan semula setinggan di jajaran Lebuh raya Penyuraian Timur atau LED, LDL atau dikenali sebagai Perumahan EDL telah mula dibina pada tahun 2008, 14 tahun yang lepas Perumahan EDL yang terdiri daripada 4 plot penempatan iaitu Pangsapuri Desa Jaya, Pangsapuri Desa Datuk Hajah Hasnah, pangsapuri Desa Melayu dan Pangsapuri Desa Belantek mempunyai 2,720 unit rumah merupakan flat awam yang mempunyai kepadatan yang tertinggi.

Tebrau Bay Constructions Sdn. Bhd. telah telah dilantik sebagai kontraktor turn key bagi projek pembangunan pangsapuri kos rendah tersebut. Bayu Bay Development Sdn. Bhd. menjadi pemaju bersama dan bertanggungjawab dalam menguruskan keperluan lesen pemajuan, perjanjian jual beli, pengurusan kutipan, permohonan hak milik strata dan pengurusan bangunan serta pengurusan pemindahan sementara dan penyewaan.

Pada tahun 2020, vandalisme telah berlaku di perumahan EDL mengakibatkan kerosakan pendawaian elektrik, lif injap, pelampung tangki air, loji rawatan kumbahan STP dan rumah pam STP.

Oleh yang demikian pada Oktober 2021, kerajaan negeri bersetuju melantik JKR Johor sebagai agensi pelaksana bagi kerja-kerja membaik pulih loji rawatan STP, sistem elektrik, sistem mekanikal meliputi sistem pencegahan kebakaran serta pembaikan lif.

Untuk makluman Yang Berhormat, saya bersama EXCO JKR telah turun pada bulan Jun. Yang Amat Berhormat turun pada bulan 8 dan setiap bulan kita turun ke EDL untuk selesaikan isu kat sini. Yang Berhormat ada turun berapa kali? Terlalu banyak...

Jadi apa yang nak saya kongsikan di sini, ini adalah flat awam mempunyai kepadatan tinggi iaitu 2,720 unit rumah dan hanya memiliki satu JMB sahaja. Ada 4 blok besar, hanya 1 blok iaitu blok Belanti yang ada JMB. Bayangkan pemaju ini dah siapkan rumah ini 14 tahun yang lepas 2008, tapi penyerahan untuk penubuhan JMB kepada MC, hanya berlaku pada satu blok sahaja.

Jadi maknanya selama ini di peringkat biokrasi, pemaju ini sendiri pun dah ada masalah. Jadi apa yang kita buat untuk makluman Yang Berhormat, kita tubuhkan task force, BPEN terlibat, PKPJ terlibat, JKR terlibat, JKR terlibat, banyak pihak yang terlibat. Dan kita telah adakan beberapa siri meeting. Dan task force ini ialah untuk menyelesaikan isu di flat EDL inilah.

Bila pertama kali saya pergi ke EDL ini, saya sebenarnya dapat inbox daripada facebook selain makluman daripada Yang Berhormat. Di bawah ground floor itu, kalau kita lalu aje bau najis eh bau najis, rupanya selama 14 tahun ini tak ada buat kerja-kerja sedutan. Di apa sedutan najis di dalam tangki itulah. Sebab apa, masalahnya ialah penduduk-penduduk di situ tidak membayar fee perkhidmatan. Jadi, akhirnya kerajaan bawah peruntukan kerajaan Johor memperuntukkan RM24.9 juta untuk selesaikan isu ini.

Dalam Greater Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai, dalam gred 4 PBT ini ada 100 lebih flat awam. Flat yang bawah bidang kuasa kerajaan negeri Johor ialah flat PPR dan RSK. Kita ada 13 PPR dan ada 7 RSK, jadi jumlah dia lebih kurang 14,000 unit. Ini di bawah penyelenggaraan dan bajet kerajaan negeri Johor. Flat awam EDL ini bukan di bawah pentadbiran kerajaan negeri, tetapi mereka ini bangsa Johor, mereka ni rakyat Johor, jadi akhirnya kita turun, kita cari bajet dan Alhamdulillah, kerajaan telah peruntukan RM24.9 juta.

Dan untuk makluman Yang Berhormat, kerja telah bermula pada 12 Julai 2022 dan dijangka siap pada 2024. Ini hanyalah salah satu isu flat awam yang kita selesaikan. Ada lagi 100 flat awam dalam Greater JB yang mempunyai masalah yang sama. Di mana mereka tidak dapat tubuhkan MC. MC ini maksudnya Jawatankuasa Penduduk yang menguruskanlah fee dan sebagainya, penyelenggaraan. Jadi, kerajaan terpaksa membelanjakan banyak duit ke arah itu. Walau bagaimanapun, kita bersyukur dengan task force ini, dengan kerjasama semua pihak, kita memberi tekanan kepada pemaju asal yang 14 tahun jaga projek itu, tak serahkan pada MC, untuk dia serahkan daripada tubuh JMB ini bersama pemaju. Lepas itu, dia kena serah tubuhkan MC. Maksudnya MC itu maksudnya penduduk itu menguruskan sendiri. Jadi, ini salah satu cabaran dan isu besar. Ini belum cerita lagi hutang-hutang yang ditanggung di peringkat flat-flat awam ini. Saya ingat berpuluh juta, berpuluh juta. Jadi, antara inisiatif yang kerajaan akan buat pada tahun hadapan ialah kita perlu tubuhkan satu task force untuk melihat semua flat-flat awam dalam negeri Johor. Terima kasih.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Dan saya juga memang mengucapkan jutaan terima kasihlah atas peruntukan yang diberikan dan saya bersyukur dan saya rasa kita berikan sedikit masa dan ruang untuk kerajaan negeri untuk menolong menyelesaikan masalah-masalah inilah. Memang saya mengucapkan terima kasih kerana masalah ini telah pun berlaku sekian lama dan soalan tambahan saya, ringkas sahaja. Berkenaan dengan pangsapuri Desa Melayu, di sana pun banyak masalah juga dan ramai yang tak duduk di sana. Bilangan penduduk adalah lebih kurang 60 lebih rumah sahaja, banyak lagi rumah kosong. Jadi, bila tak ada orang duduk, makin lama-kelamaan akan jadi usang juga.

Jadi, adakah kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menjadikan pangsapuri Desa Melayu tersebut sebagai satu skim sewa beli untuk menarik orang yang lain, yang layak untuk membeli rumah, kemudian akhirnya mereka dapat rumah setelah menyewa rumah tersebut. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Isu penyelenggaraan, isu lif, isu STP, isu kumbahan, isu wiring, mekanikal, electrical, itu adalah satu isu yang the other side, lagi satu isu. Lagi satu isu ialah isu rumah-rumah kosong yang ada kat EDL ini.

Bila pertama kali kita punya task force masuk kita buat task force meeting, kita hantar pasukan penyelidik, pasukan research lah pergi check satu-satu rumah, begitu terkejut juga sebab didapati ada 700 rumah yang tidak diduduki, tidak diduduki walaupun sebahagiannya dah diserahkan kunci 14 tahun yang lepas.

Jadi, apa yang kita buat ialah di peringkat yang diketuai oleh BPEN, Dr Amirul, kita bersama dengan (masalah ganguan teknikal) majlis berjumpa dengan penduduk-penduduk di situ. Kita buat kembali profiling yang 14 tahun lepas sepatutnya dibuat. Jadi kita buat baliklah daripada kerja A, B (masalah gangguan teknikal) belum sign S & P, ada yang dah serah kunci tapi tak duduk, ada yang isu dah meninggal. Jadi kita pecahkanlah ikut beberapa kategori. Dan daripada 800 (masalah gangguan teknikal) 7 tadi, sama ada kosong ini maksudnya dia ada (masalah gangguan teknikal) akhirnya daripada senarai akhir selepas

kita adakan proses berjumpa penduduk dua, tiga kali, jemput juga ketua-ketua (masalah gangguan teknikal) yang ada ni ada tinggal (masalah gangguan teknikal).

Kita akan buat mesyuarat di peringkat kerajaan, daripada 800 itu dah dekat 600 lebih itu dah selesai, ada baki lagi 144. Yang 144 ini kita tak dapat cari pemilik dia atau penghuni dia, tak ada wakil pun. Jadi, kita pun dah buka lagi 2 bulan iklan untuk dia orang datang 144 ni. Jadi, perkara ini awal tahun ini kita akan dapat maklumat sama ada 144 ini ada ke tak ada orangnya. Kalau tak ada maksudnya di peringkat kerajaan, kita akan mencadangkan buka kembali iklan ini kepada penduduk-penduduk orang lain yang berminatlah. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Permas.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya ingin bertanyalah kepada EXCO, ada tak kemungkinan atau boleh tak soal flat-flat yang bermasalah tadi maintenance ini diambil alih oleh Perbadanan Perumahan. Sebab apa kalau dikatakan bahawa ada pemaju-pemaju yang tidak serahkan, tetapi banyak pemaju yang telah menyerahkan soal maintenance atau perumahan tersebut kepada penduduk. Tetapi, malangnya penduduk masih lagi tidak berjaya untuk mengurus soal maintenance di mana penduduk-penduduk tersebut, penghuni-penghuni tidak membayar fees maintenance kepada pihak pengurusan.

Jadi saya mintalah, kalau boleh pihak perumahan ini ambil alih, badan perumahan ambil alih dan segala fees maintenance ini bayar kepada pihak perumahan di mana kalau pihak perumahan, badan perumahan yang minta mengambil fees ini, saya rasa penduduk akan bayar berbanding dengan dia nak bayar kepada pengurusan yang dilakukan oleh penduduk sendiri. Sekian, terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Permas. Saya harap di peringkat perumahan kita harap kita boleh dapat peruntukan untuk selesaikan isu flat awam. Sebenarnya, untuk makluman Dewan yang mulia ini, untuk makluman YB, YB semua, bila tadi saya bercakap tentang PPR, 13 PPR yang ada di Johor dan 7 RSK (Rumah Sewa Kerajaan), jumlahnya 20. Tempat ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Maksudnya penyelenggaraan, kutipan sewa, peringkat PKPJ (Perbadanan Kemajuan Perumahan) yang kutiplah. Tetapi (masalah gangguan teknikal) yang tadi jumlah dia lebih kurang dalam 100, ini anggarnya 4 PBT sahaja.

Jadi saya suka nak kongsi, seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada pembentangan bajet yang baru-baru ini, memperuntukkan RM49 juta, dengar baik-baik RM49.4 juta allocate kan kepada 6 tempat sahaja. 6 tempat contoh EDL tadi. EDL satu-satu EDL tadi unit dia baru 2,720. Sana sahaja RM24 juta untuk 2 tahun peruntukan. Begitu juga dengan flat Saujana bahagian Perling, YB Perling RM10.1 juta. Jadi 2 tempat itu sahaja dekat RM34 juta. Tabung Perbadanan collection dia tak sampai pun RM100 juta setahun.

Jadi kalau hari ni, Perumahan ambil, kerajaan ambil, maksudnya costing dia akan bertambah. Tak relevanlah. Jadi apa yang saya, yang kedua tadi, boleh tak kita ambil flat-flat awam ini? Tidak boleh. Sebab Akta di peringkat KPKT tidak membenarkan kerajaan negeri campur tangan dalam urusan flat awam ini. Sebab itulah di flat-flat awam ini, dia ada JMB. Yang pertama, JMB ini pemaju yang buat tu, kontraktor dengan penduduk. Lepas habis tempoh itu, dia akan pergi tubuhkan MC. MC ini maksudnya di kalangan penduduk itu dia orang lantik pengerusi, jawatankuasa, bendahari dan sebagainya. Ditubuhkan satu MC yang menguruskan yuran, fee maintenance dan sebagainya dan dia buat tabung dan ada mesyuarat dan ada audit juga, ada audit yang dia kena bentangkan. Tetapi, apa yang berlaku ialah kebanyakan flat awam ini, kalau ada 10 flat awam macam kat Kulai, kat Kulai

masa saya jadi Ketua Whip (masalah teknikal) ... yang capai fee maintenance, bayar maintenance tu capai 70-80%. Lagi 7, pungutan collectionnya hanya sekitar 30-40%.

Jadi inilah yang saya cadangan yang diberikan oleh Yang Berhormat tu di peringkat kerajaan negeri faham. Sebab itu akhirnya isu flat awam ini ialah isu yang saya rasa isu yang besar untuk kerajaan Johor. Jadi kena, kita kena, mungkin kerajaan negeri, kerajaan Johor boleh cadangkan satu task force untuk berjumpa dengan MC-MC penduduk ni, mungkin di peringkat pengerusi-pengerusi kita boleh jumpa untuk bincang macam mana di peringkat kerajaan Johor boleh bantu. Contoh, baru-baru ini saya pergi flat Saujana tempat YB Perling, baru jumpa sesi dengan penduduk-penduduk kat situ pun dah bergaduh. Dia tuduh dia curi duit, dia tuduh dia penyalahgunaan kuasa, lepas tu dia tak jemput saya mesyuarat. Itu saja satu tempat saja dah ada isu macam tu. Jadi, kita kena faham bahawa di flat-flat awam ini adalah golongan B40 ke bawah, sebab itu saya pun setuju juga untuk cadangan Permas macam mana di peringkat PBT.

Kita sebenarnya ada COB, COB ini adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan ialah sebagai Penasihat kepada MC-MC ini. Tetapi COB ini dia tak ada kekuatan. COB ini satu-satu COB. Dia cuma ada 3-4 je staf. Nak jaga flat sampai berpuluh flat, tak mungkin. Jadi apa yang kita kena lihat di sini ialah kena ada satu task force, satu perbincangan secara serius macam mana di peringkat kerajaan negeri bersama MC penduduk-penduduk ni, kita kena tengok dari segi garis panduan. Sebab itu baru-baru ini saya panggil 16 PBT punya COB. Dia dah bentangkan kat saya apa isu-isu di peringkat flat-flat awam ini. Jadi, bila saya tengok, satu-satu bila kita summary out, team summary out, isu itu melibatkan akta di peringkat KPKT juga. Jadi di peringkat KPKT kita harap menteri yang baru ini perlu tengok bagaimana akta yang ada sekarang ini di peringkat KPKT boleh memberi ruang di peringkat kerajaan negeri untuk masuk bersama dengan MC ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Yang Berhormat Tuan Speaker saya mewakili Yang Berhormat Panti menyampaikan salam beliau telah pergi menunaikan umrah. Soalan Yang Berhormat Panti nombor 7.

Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus dalam membangunkan sebuah modul khas bersifat politik dan kenegaraan kepada murid-murid di sekolah menengah di negeri ini sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Panti atas soalan yang diajukan berkaitan adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan dalam membangunkan sebuah modul khas bersifat politik dan kenegaraan kepada murid-murid di sekolah menengah di negeri ini sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun?

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Penerangan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang merangka modul yang bersesuaian bagi memberikan pendedahan tentang kepentingan dan tanggungjawab pelajar sejajar dengan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun. Selain daripada penglibatan Jabatan Penerangan dan Jabatan Pendidikan Negeri, pihak saya juga akan menjalinkan kerjasama pintar dengan Institut Dato’ Onn (IDO) di bawah Portfolio Yang Berhormat EXCO Belia Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia yang sedang dalam usaha untuk diperkasakan peranannya sebagaimana yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita. Jadi penglibatan IDO adalah penting

dalam penghasilan modul ini berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dipunyai oleh agensi ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, buat masa ini para pelajar di sekolah menengah didedahkan dengan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan melalui Kelab Malaysiaku yang terdapat di 73 buah sekolah di seluruh negeri Johor ini. Antara strategi yang dirangka dan disusun bagi memudahkan para pelajar memahami perjalanan pemilihan dan kepimpinan di negara ini adalah melalui proses pilihan raya. Jadi, setakat ini dengan kerjasama daripada Akademi Pilihan Raya (APR), para pelajar telah didedahkan dengan proses bagaimana sesuatu pilihan raya itu dijalankan di samping memberikan penekanan kepada betapa pentingnya untuk menjadi seorang pengundi yang bertanggungjawab di dalam memilih kepimpinan untuk menerajui negara pada masa hadapan.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi tahun 2022 ini Jabatan Penerangan Negeri Johor telah melaksanakan sebanyak 20 Program Cambah Minda, taklimat isu semasa berkaitan dengan Undi 18 dan bagaimana tanggungjawab warganegara di Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Tingkatan 6 di seluruh negeri Johor. Jadi program ini bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat kepada para pelajar terutama yang berusia 18 tahun dan ke atas mengenai had umur mengundi, peranan dan tanggungjawab warganegara dalam pembentukan kerajaan serta sistem demokrasi di Malaysia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada pendedahan berbentuk program, bahan-bahan sokongan yang menekankan kenegaraan juga telah disediakan dan sedang diguna pakai di sekolah-sekolah menengah dan tingkatan 6. Jadi bahan-bahan ini berbentuk modul pembelajaran seperti buku modul Pengajian Am dan modul Sejarah. Kandungan bahan-bahan akademik ini juga mendedahkan murid-murid kepada pengetahuan politik berkaitan struktur pemerintahan negara, demokrasi berparlimen dan negara bangsa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara tajuk-tajuknya berkaitan Malaysia Kekal Berdaulat, Pembentukan Negara Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Demokrasi juga Pilihan Raya. Kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 5 pula dalam bab 3 menekankan murid-murid berkaitan tajuk peranan Agong dan sistem pemerintahan kerajaan persekutuan, senarai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri manakala bab 8 mendedahkan tajuk pilihan raya dan kelayakan mengundi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menyuburkan kemahiran dan pengetahuan murid, Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan yang bertujuan menyuburkan sifat sayang kepada negara, jati diri dan sifat patriotisme. Selain itu murid-murid juga diterapkan kesedaran tentang warisan sendiri, bertanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain, komuniti juga masyarakat, hormat terhadap budaya dan masyarakat di Malaysia ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat saya nak minta tanya, sedangkan kajian tengah dijalankan, jadi adakah ini termasuk sekali dengan penubuhan persatuan yang berkenaan dengan politik di sekolah? Dan, lagi satu soalan ialah adakah Ahli Dewan Negeri dari barisan pembangkang diizinkan dimasuk ke sekolah ataupun dijemput untuk membagikan ceramah berkenaan politik? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan yang telah diajukan tadi. Buat masa sekarang Yang Berhormat, perlaksanaan program kepada pelajar-pelajar ini di Politeknik, Kolej-Kolej Komuniti dan Kolej Tingkatan 6 bersifat ceramah dan taklimat. Untuk tahun 2022 ini, fokus adalah secara langsung tajuk

Undi 18 yang mana yang menjalankan ceramah itu adalah daripada pegawai-pegawai daripada Jabatan Penerangan Negeri Johor sendiri. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.

Apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan perancangan projek tebatan banjir Daerah Batu Pahat dapat membantu mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku di Kawasan DUN Parit Yaani seperti : Parit Besar,Parit Imam,Taman Sri Jaya dan Taman Puteri.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Yang Berhormat Parit Yaani. Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pada tahun 2022, Jabatan Pengairan dan Saliran telah membelanjakan hampir RM504,000.00 bagi melaksanakan sebanyak 32 projek penyelenggaraan khusus bagi menyelenggara semua parit-parit di dalam DUN Parit Yaani. Daripada 102 km panjang keseluruhan parit di DUN Parit Yaani ini sebanyak 5.7 km parit telah di selenggara bagi mengurangkan risiko banjir. Kerja-kerja ini merupakan sebahagian daripada usaha awal jabatan ini bagi mengurangkan risiko banjir dan juga sebagai langkah-langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah banjir di DUN Parit Yaani.

Bagi tahun 2023, sebagai perancangan jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran akan mengadakan kerja-kerja pembersihan secara berjadual bagi memastikan tiada sebarang kelodak, sampah atau halangan yang berada di dalam parit-parit utama kawasan berkaitan. Kesemua parit di dalam DUN ini akan dipantau bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan berkesan bagi mengalirkan air banjir. Bagi perancangan jangka panjang pula, Jabatan Pengairan dan Saliran telah memohon Projek Rancangan Tebatan Banjir bandar Batu Pahat yang mana projek tersebut dijangka akan dapat menyelesaikan hampir 80% isu banjir di dalam Lembangan Sungai Batu Pahat dan dengan tahap lindungan sehingga 200 ARI. Projek ini akan melibatkan keseluruhan DUN Parit Yaani. Antara komponen projek adalah penggalian sungai, naik taraf struktur parit-parit keluar dan juga pembinaan ban. Projek ini merupakan salah satu langkah kerajaan bagi menyelesaikan masalah banjir secara holistik. Terima kasih.

Speaker

Ya, jemput Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO atas pencerahan tadi tu. Saya ingin bertanyakan sedikit soalan iaitu apakah perancangan jangka masa pendek dan juga pelan jangka masa panjang untuk kawasan saya terutamanya berkaitan dengan isu banjir termenung di kawasan Parit Yaani Laut dan sekitarnya. Terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti mana yang diberitahu tadi, kita memang ada projek-projek penyelenggaraan untuk jangka pendek. Dan, untuk jangka panjang, Projek Rancangan Tebatan Banjir yang memerlukan kos sebanyak RM190 juta telah dimohon dan telah dimaklumkan diluluskan untuk tahun 2023 untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir. Dan bila Rancangan Tebatan Banjir ini dapat dilaksanakan hampir 80% isu banjir di kawasan Parit Yaani dan juga Batu Pahat dapat diselesaikan. Terima kasih.

Speaker

Sila Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Isu banjir ini memang satu isu yang sangat penting terutama sekarang kita sudah menjelang ke hujung tahun. Terima kasih kepada soalan Parit Yaani yang sebut mengenai Projek Tebatan Banjir. Kalau kita tengok di Johor ada sebanyak 432 hotspot banjir dan mengikut jawapan EXCO pada penggal lepas, bulan November, kerajaan negeri memperuntukkan RM23 juta untuk Projek Tebatan Banjir di Batu Pahat. Batu Pahat sahaja, RM23 juta. Walau bagaimanapun, merujukkan kepada Belanjawan yang kita terima, Belanjawan tahun 2023, muka surat 32, peruntukan pembangunan diperuntukkan kepada JPS hanya RM30 juta. Hanya RM30 juta berbanding dengan peruntukan tahun lepas, 40. Jadi sekarang kita mengalami cuaca ekstrem. Bagaimana, oh soalan tambahan saya, bagaimana dengan RM30 juta ini mencukupi mengatasi masalah dan menjalankan Projek Tebatan Banjir. Sekian, terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Mahkota. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri telah, actually telah luluskan lebih kurang RM30 juta tahun ini untuk dalam bajet 2023 untuk penyelenggaraan. Dan kalau ditengok 2022 ialah lebih kurang RM80 juta, ada pengurangan sebanyak RM10 juta. Tapi apa pun kerajaan negeri tetap komited, kalau ada apa-apa isu-isu yang emergency memang kerajaan negeri akan tambah bajet untuk penyelenggaraan banjir. Apa yang dimaklumkan, kalau di Johor, di negeri Johor ini kita perlu, kita ada lebih kurang 2,000 lebih, 2,574 sungai di Johor dengan sistem aliran termasuk 399 batang sungai. Dalam untuk kerja-kerja penyelenggaraan sahaja yang keseluruhan ialah yang diperlukan dalam lebih kurang RM305 juta. Dan, kalau untuk setahun, setiap tahun buat kerja-kerja penyelenggaraan. So, kerajaan negeri biasanya antara RM70- RM80 juta dia bagi kepada kerajaan negeri dan lebih kurang RM30-RM40 juta diberikan oleh kerajaan pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan. So, lebih kurang setahun, dua tahun sekali dia buat penyelenggaraan untuk kebersihan. Dan, kaedah ini telah dijalankan dari masa sekarang tapi lebih pentingnya ialah kita perlukan projek-projek tebatan banjir. Sebab yang itu ialah secara holistik sebab kita tahu dengan pembangunan yang pesat dan juga cuaca sekarang iklim ini, kita bila tengok, kita banyak kawasan-kawasan banjir kilat yang berlaku. So, kita perlukan projek-projek tebatan banjir daripada penyelenggaraan. Itu yang lebih kita patut fokuskan untuk long term solution. Short term solution memang kita akan menyelenggara, menyelenggara, tapi long term solution yang paling penting. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Apa jenis pelaburan-pelaburan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi anak muda, terutamanya di kawasan DUN Layang-Layang yang boleh dibawakan ke dalam kawasan saya terutamanya dari segi pertanian, ekonomi gigs, perindustrian automotif dan keusahawanan ?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang memberikan soalan yang sentiasa memikirkan hal isu-isu anak muda khususnya anak muda di kawasan Layang-Layang. Soalan yang ditujukan atau yang diberikan pada saya apakah jenis pelaburan-pelaburan yang menjurus kepada pembangunan ekonomi anak muda terutamanya di kawasan Yang Berhormat DUN Layang-Layang, yang dibawakan ke kawasan terutamanya dari segi pertanian, ekonomi gig, perindustrian automotif dan keusahawanan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Layang-Layang dengan kemasukan beberapa pelaburan pusat data berskala di beberapa daerah di negeri Johor ini ianya akan memberi limpahan kepada daerah-daerah yang bersempadanan di daerah Kulai

dan Johor Bahru. Pelaburan berteknologi tinggi dan berimpak besar akan mendominasi trend pelaburan di negeri Johor untuk tahun-tahun mendatang. Bergerak seiring dengan Revolusi Industri 4.0, ekonomi gigs sudah mula kelihatan kesannya di Malaysia amnya dan di negeri Johor khususnya.

Antara perkhidmatan yang cukup popular melibatkan iaitu sharing economy. Ini adalah perkhidmatan penghantaran makanan seperti Food Panda, Grab Food dan Bungkusit. Di mana pekerjaan sebagai rider cukup popular dalam kalangan anak muda untuk mencari wang tambahan mahu pun kerja separuh masa. Kerja yang flexible berpadanan dengan usaha dan bebas. Itu adalah inti pati dan daya penarik, mengapa ia menarik minat sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur untuk mencubanya.

Tapi, seperti mana yang diungkapkan oleh YB Benut semalam, pekerjaan itu adalah hanya pekerjaan sementara tidaklah boleh pekerjaan sepenuh masa. Saya bersependapat dan bersetuju, itu baru disentuh tentang peluang pekerjaan untuk golongan pekerjaan berkemahiran rendah atau low skill jobs. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pekerjaan berkemahiran tinggi pula high skill jobs antara yang akan terlibat adalah book keeper, videographer, graphic designer dengan izin, programmer serta perunding sistem aplikasi dan produk.

Malahan, ada diantara pekerjaan tersebut yang menerima bayaran serendah RM1,800.00 hingga RM3,000.00 sehari. Ianya akan menarik lebih ramai anak muda untuk menetap di DUN Layang-Layang walau pun syarikat induk berada di bandar-bandar besar. Selain daripada itu sektor perkhidmatan juga terus menungguli keperluan industri di masa akan datang dan dijangka plot perubahan ini akan terus meningkat.

Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, industri berasaskan pertanian moden juga boleh diterokai memandangkan ianya amat penting untuk kesinambungan sekuriti makanan negara atau di Johor saja kita, Yang Amat Berhormat Menteri Besar lebih menekankan food bank memandangkan DUN Layang-Layang mempunyai simpanan tanah pertanian yang mencukupi. Kerajaan negeri Johor boleh menarik lebih banyak pemain-pemain industri yang berpotensi terutamanya di bidang pertanian untuk terus melabur industri pertanian moden secara besar-besaran di sana.

Insya-Allah Yang Berhormat DUN Layang-Layang, saya bersama Yang Berhormat EXCO Pertanian, YB EXCO Pelaburan akan duduk bersama-sama dengan YB, insya-Allah meneliti dan melihat perkara ini dengan serius untuk pembangunan anak-anak muda di DUN Layang-Layang. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput Layang-Layang.

Soalan tambahan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, ikut apa yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO, sektor perkhidmatan ini akan terus mengungguli keperluan industri di masa akan datang. Dengan jangkaan plot perubahan ini akan terus meningkat, saya mohonlah kepada Yang Berhormat EXCO dapat berikan pandangan persediaan dan juga perancangan kerajaan negeri Johor untuk mendepani situasi perubahan dalam permintaan yang pesat dalam sektor perkhidmatan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. Bagi mengemukakan pertanyaan dan soalan tambahan. Yang Berhormat Datuk Speaker, ekonomi Johor kini berada pada landasan pemulihan dengan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM131.1 bilion pada tahun yang lalu. Menurut Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dengan izin, nilai KDNK itu adalah peningkatan positif berbanding RM128 bilion pada tahun 2020.

Tambahan kadar pertumbuhan ekonomi itu direkodkan lebih baik pada tahun lalu iaitu dengan kadar 2.4% berbanding pada tahun 2020 yang merekodkan pertumbuhan negatif 4.7%. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam sektor perkhidmatan pula pertumbuhan pada kadar 2.6% didorong oleh peningkatan dan subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan maklumat dan komunikasi dan subsektor kewangan dan insurans serta hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Pada masa yang sama juga, kerajaan negeri Johor sentiasa bersedia mendepani situasi-situasi perubahan dalam permintaan menerusi perancangan-perancangan yang kita bakal jalankan. Iaitu sepertinya contohnya, menyediakan jaringan capaian Internet yang meliputi 100% di seluruh kawasan di Johor. Menyediakan fasiliti dan infrastruktur dan jaringan hubungan pengangkutan yang sistematik. Yang ketiganya, menyelaraskan kadar gaji minimum mengikut ketetapan kerajaan persekutuan. Dan yang terakhir memperkasakan industri usahawan mikro kecil dan sederhana menerusi penyediaan latihan serta bimbingan yang diperlukan.

Kesimpulannya sidang Dewan yang mulia ini, aktiviti perniagaan perlu diteruskan termasuklah di kawasan-kawasan, termasuklah kawasan Yang Berhormat Layang-Layang. Dan dalam masa yang sama membuka peluang kepada pekerjaan kepada penduduk di Johor dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Johor. Sekian, terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.

Adakah semua agensi berkaitan dengan pelaburan (seperti Invest Johor, MIDA, IRDA, JETCO dan sebagainya) ada mengadakan mesyuarat berkala bersama untuk menyelaras usaha menarik pelaburan?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Stulang. Ke semua agensi yang berkaitan dengan sektor pelaburan sentiasa bersama berkongsi informasi dan mesyuarat melalui platform Jawatankuasa Pelaburan Johor ataupun Johor Investment Committee yang telah pun Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor aktifkan balik sejak tahun ini. Agensi itu bukan sebagai platform komunikasi dua hala di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan jabatan atau agensi terbabit. Dan bagi menyelaraskan segala hal dan perkara berkaitan sektor pelaburan negeri Johor. Ianya terdiri daripada dua Mesyuarat jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Promosi Pelaburan yang melibatkan pra pelaburan dan pasca pelaburan serta Jawatankuasa Acara Perniagaan Johor.

Menerusi Jawatankuasa Pelaburan Johor, kerajaan negeri juga akan lebih fokus dalam membuat perancangan untuk tujuan hebahan dan promosi bagi menarik pelaburan dengan memberi pendekatan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi bangsa Johor. Agensi juga berperanan melaraskan polisi dan dasar-dasar kerajaan mengenai pelaburan supaya ianya dapat diterima pakai di semua peringkat. Agensi juga boleh dijadikan sebagai satu platform atau medium bagi menzahirkan dasar atau polisi kerajaan yang sifar birokrasi dan mesra pelabur. Setakat ini, dua sesi mesyuarat bagi jawatankuasa induk telah pun diadakan dan melibatkan penyertaan lebih daripada 30 agensi jabatan serta pemain industri terbabit. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Kerana apa yang berlaku sekarang sering kali saya mendengar rungutan daripada para pelabur yang mengatakan bahawa kadang-kadang jawapan daripada agensi-agensi yang berlainan. Saya rasa ini biasalah berlaku kerana kadang-kadang tidak seragam. Dan saya rasa, semua agensi yang terlibat dalam pelaburan cukup penting dalam fasilitasi pelaburan. Jadi adakah kerajaan akan beroperasi yang mirip kepada other lead agensi daripada operasinya yang mirip kepada one stop agensi supaya core theme yang lebih akrab dan juga maklumat yang disalurkan lebih seragam. Mereka tahu siapakah lead agensi, mereka tahu siapa perlu tanya dan maklumat yang dikeluarkan adalah seragam supaya insentif-insentif, cara permohonan dan sebagainya ada satu platform, mereka boleh akses dan mendapat maklumat yang lebih tetap dan mutlak. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih atas cadangan Yang Berhormat Stulang. Sebenarnya di negeri Johor kita ada banyak agensi yang terlibat dalam usaha untuk menarik pelaburan termasuk Invest Johor, MIDA, JPDC, IIB, IRDA dan ECER dan sebagainya untuk kawasan-kawasan masing-masing. Dan dalam hal ini, kita minta supaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah pun mengarahkan supaya GIC ditakwimkan supaya dia menjadi satu mesyuarat berkala setiap suku dan diterajui oleh Invest Johor sebagai secretariat supaya kita dapat bersama-sama dengan pemain industri. Dan setakat ini, FMM dijemput sebagai Ahli GIC dan dalam mesyuarat akan datang kita akan jemput lebih banyak persatuan perniagaan supaya kita dapat salurkan informasi ada satu platform untuk mereka membangkitkan isu-isu yang berkaitan dan kita selesaikan melalui platform GIC tersebut. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan-soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada 11.30 pagi.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Ke Dua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor 2030. Ahli-Ahli Yang Berhormat, bersama-sama kita mengalu-alukan kehadiran pelawat-pelawat yang bersama kita dalam sidang Dewan kita pada hari ini. Iaitu daripada DUN Semerah seramai 4 orang, DUN Johor Lama 3 orang dan ADUN Tiram 2 orang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Salam sejahtera, salam perpaduan. Penggaram mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Datuk Speaker memberi ruang untuk Penggaram berucap. Penggaram mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor bagi 2023. Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram maklum ada beberapa rakan di sebelah sana yang memang dengan senario politik baru di peringkat persekutuan hingga membawa perubahan senario di dalam Dewan ini. Rakan-rakan di sebelah sana jangan risau, usah bimbang, kami di sebelah sini kekal bersama Ketua Pembangkang sebagai rakan strategik kerajaan bagi memastikan proses pendemokrasian serta semak dan imbang dapat terus diperkasakan di dalam Dewan yang mulia ini.

Sehubungan dengan itu, Penggaram berharap agar Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dapat memperuntukkan kepada ADUN-ADUN Pembangkang dengan jumlah peruntukan yang sama seperti ADUN Kerajaan. Ia juga sebagai tanda menghormati pilihan Bangsa Johor pada PRN yang kita sama-sama lalui.

Penggaram juga ingin mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai peruntukan perayaan sebanyak RM50,000.00 untuk semua ADUN yang telah diluluskan di Dewan ini berdasarkan Perkara No. 42, Belanjawan 2022 yang lalu. Untuk makluman Dewan, kami di sebelah sini hanya menerima RM10,000.00 sahaja pada Tahun Baru Cina, baki RM40,000.00 masih belum diterima oleh ADUN-ADUN Dewan Negeri di sebelah sini. Penggaram tidak memikir soal menambah penambahan elaun tetapi lebih memikirkan peruntukan yang disalurkan agar rakyat di luar sana dapat menikmati kestabilan dan kemakmuran yang telah dijanjikan. Sebelum kita melangkah ke tahun baru, apa yang telah dibentang dan diluluskan di dalam Dewan ini, Penggaram harap perlu dilunaskan sepertimana komited Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk meneruskan Agenda Lapan Teras Utama yang terdapat dalam Belanjawan sebelum ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui Belanjawan ini Penggaram dapat melihat hala tuju kerajaan di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, yang ingin membawa negeri Johor ke arah kemodenan melalui pelbagai peruntukan dan inisiatif yang disediakan. Namun, Penggaram berpendapat masih terdapat banyak perkara asas perlu diberi fokus dan keutamaan dan berharap agar kerajaan mengambil perhatian dan memberi keutamaan terhadap perkara-perkara asas tersebut. Penggaram berasa bimbang di dalam kita mengorak langkah mengejar kemodenan, kita tertinggal untuk menyelesaikan isu-isu asas yang perlu diberi keutamaan dan akan muncul masalah-masalah baru yang lain rentetan dari isu utama yang tidak disempurnakan dan ditinggalkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang pertama Penggaram ingin membangkitkan berkaitan masalah banjir yang melanda hampir seluruh kawasan di negeri Johor. Di beberapa kawasan dan jalan-jalan utama di negeri Johor ini, Penggaram memandang serius keadaan banjir kilat yang sering melanda seperti di Jalan Tanjung Laboh, yang merupakan satu jalan utama dari Pekan Senggarang dan Rengit ke Bandar Batu Pahat. Hujan yang lebat hanya mengambil masa dalam satu jam untuk menenggelamkan beberapa kawasan di Jalan Tanjung Laboh dan ia bukanlah perkara yang di luar pengetahuan kerajaan.

Pada sesi Sidang Dewan yang lalu, Penggaram ada bertanya berkaitan status kerja-kerja penyelenggaraan saliran di Jalan Tanjung Laboh. Penggaram dijanjikan kerja-kerja penyelenggaraan pembersihan, crossing culvert di Jalan Tanjung Laboh secara berfasa di mana ia merupakan langkah jangka pendek bagi mengurangkan masalah banjir dan kerja itu sepatutnya diselesaikan pada September yang lalu. Malangnya, sehingga kini Penggaram dapati tiada kerja-kerja tersebut dijalankan dan sehingga kini banjir kilat masih terus melanda di kawasan tersebut.

Di dalam negara menghadapi perubahan iklim, Penggaram tidak faham bagaimana JPS yang bertanggungjawab menyelenggara pengairan dan saliran hanya diperuntukkan sebanyak RM30 juta dari negeri, di mana terdapat pengurangan sebanyak RM10 juta berbanding tahun 2022. Daripada jumlah tersebut peruntukan untuk tebatan banjir hanya lebih kurang RM4.6 juta yang diperuntukkan kepada JPS di dalam mengatasi masalah ini. Dengan pengurangan jumlah peruntukan, bagaimanakah agensi-agensi ini ingin menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan sempurna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika ketika negara menghadapi pandemik di bawah kepimpinan Yang Berhormat Benut ketika itu, kita berjaya memberi fokus dan keutamaan untuk melawan COVID-19, di samping menjaga kebajikan rakyat. Justeru, Penggaram merasakan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri memberi tumpuan dan keutamaan di dalam penyelesaian isu banjir. Penggaram bersetuju dengan cadangan Ketua

Pembangkang, YB Perling untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menangani impak perubahan iklim tambahan lagi seperti mana kerajaan memberi fokus di dalam membasmi kemiskinan, Penggaram mencadangkan untuk kerajaan menubuhkan Jawatankuasa di peringkat daerah untuk menangani masalah banjir agar semua agensi dan jabatan yang terlibat dapat memberi fokus terhadap masalah ini. Seterusnya, agensi yang terlibat membentangkan di peringkat negeri serta melaporkan situasi sebenar bagaimana serius masalah ini untuk kita sama-sama menggembleng usaha menangani masalah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua, Penggaram merasakan perlunya kerajaan memberi fokus kepada lalu lintas di negeri Johor. Penggaram berasa amat kesal dengan sikap kerajaan yang sepertinya tidak memberi fokus di dalam mengatasi dan menyelesai masalah ini. Pembinaan jalan di Kampung Rahmat yang menghubungkan Jalan Tanjung Laboh dan Jalan Kluang sehingga kini masih belum diselesaikan. Pada sesi Dewan sebelum ini, Penggaram diberitahu bahawa status projek ketika itu hanya berbaki 1.4% sahaja untuk diselesaikan. Penggaram juga masih ingat jaminan daripada YB EXCO bahawa projek ini tidak akan menerima nasib seperti Pulau Batu Puteh. Kini Penggaram pula berasa bimbang akan nasib projek ini menjadi projek Gajah Putih apabila ia mengambil masa terlalu lama untuk disempurnakan.

Sejak jawapan diberi pada Jun lalu sehingga kini tiada sebarang perubahan mahupun kemajuan bagi projek ini. Tiang-tiang tanpa lampu di tepi jalan sudah ada, tetapi lalang di bahu jalan sudah tinggi daripada kereta, takkan 1.4% mengambil masa sehingga enam bulan. Penyempurnaan projek ini menjadi akses bagi mengelak pengguna jalan raya melalui kawasan-kawasan yang ditenggelami air ketika banjir kilat. Selain jalan Kampung Rahmat ini, terdapat satu lagi projek jalan yang masih belum disempurnakan iaitu projek jalan yang menghubungkan Peserai dan Parit Ismail, di mana ia boleh menjadi akses bagi penduduk di sekitar Parit Sulong untuk ke Bandar Batu Pahat tanpa melalui Jalan Bukit Pasir, Batu Pahat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, projek-projek ini telah melalui lima kepimpinan Menteri Besar serta beberapa orang EXCO Kerja Raya. Apakah kekangan sebenar yang menjadi penghalang untuk projek ini disempurnakan? Penggaram rasa kerajaan perlu menjawab dan memberitahu di dalam Dewan ini apakah status sebenar projek-projek ini. Apakah kekangan yang dihadapi oleh, untuk menyempurnakan projek-projek ini? Apakah tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyempurnakan projek ini? Dan bilakah projek-projek ini akan disiapkan? Kerajaan perlu memberikan jawapan dan situasi sebenar agar kami ADUN-ADUN di daerah Batu Pahat dapat memberi jawapan kepada rakyat di kawasan kami. Walaupun projek-projek ini di luar kawasan Penggaram, tetapi projek ini memberi manfaat kepada daerah Batu Pahat khususnya di Penggaram di mana kesesakan lalu lintas di Penggaram akan berkurangan apabila projek ini disempurnakan.

Penggaram sentiasa ingin membantu pihak kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dengan membawa Bangsa Johor ke arah Johor Makmur, Johor Bersih. Namun, di mana keyakinan yang Penggaram mahu sandarkan untuk disampaikan kepada rakyat jika projek-projek seperti ini gagal disempurnakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, permasalahan banjir dan isu lalu lintas ini adalah perkara asas yang Penggaram rasakan perlu diberi perhatian dan keutamaan oleh kerajaan negeri. Rakyat di luar sana tidak mempunyai sumber yang cukup untuk menghadapi banjir setiap hari. Mereka tidak larat untuk menghadapi kesesakan lalu lintas setiap hari, belum lagi ditambah dengan kerosakan harta benda yang terpaksa ditanggung. Simpatilah kepada rakyat, jika tidak mampu memberi kesenangan dan keselesaan kepada mereka, sekurang-kurangnya janganlah biarkan mereka terus dibebani masalah-masalah seperti ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram mendapat banyak keluhan daripada penduduk berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan oleh Konsesi SAFWA Global. Kualiti

kerja tidak memuaskan, kerja-kerja di lapangan seperti penambahbaikan yang mengambil masa terlalu panjang, kerja-kerja pembersihan tapak yang tidak sempurna dari konsesi ini telah mengundang rungutan dari orang awam. Bukan itu sahaja, perkara-perkara ini secara tidak langsung telah memberi imej buruk kepada kerajaan negeri khususnya Pihak Berkuasa Tempatan. Penggaram berharap kerajaan perlu mengambil pendekatan khusus cara untuk menyelia atau mengenal pasti tahap-tahap kerja konsesi ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, didalam keghairahan kerajaan membangunkan inisiatif bagi tujuan pelancongan, Penggaram berharap kerajaan tidak melupakan kewujudan Taman Botani Johor yang terletak di Seri Medan, Batu Pahat. Taman Botani Seri Medan ini asalnya bekas lombong bijih dan dijadikan Taman Botani untuk penduduk setempat berekreasi, cantik pemandangannya. Jika ia dibangunkan dengan baik, dia akan membantu perkembangan ekonomi di sekitar Seri Medan dan Batu Pahat. Penggaram mendapati ramai lagi yang tidak mengetahui kewujudan Taman Botani Johor tersebut dan merasakan perlunya kerajaan mengambil langkah efektif dari segi menaik taraf dan promosi. Selain itu, terdapat tempat-tempat menarik di negeri Johor yang sedia ada masih tidak mempunyai fasiliti asas seperti ketiadaan lampu jalan, tandas dan ada juga yang tidak diselenggarakan dengan baik.

Penggaram menyarankan kerajaan memandang trend eco-tourism di mana rakyat telah berminat untuk berkunjung ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan semula jadi. Penggaram sebelum ini menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang di bawah pimpinan Yang Berhormat Benut ketika itu berkaitan Majestic Johor untuk membangunkan sektor pelancongan dan di mana ia adalah satu langkah untuk menarik pelancong luar datang ke negeri Johor. Tetapi, Penggaram sangat berharap agar kerajaan juga memikirkan keperluan bangsa Johor sendiri yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dari segi pendapatan yang memerlukan kepelbagaian aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Sebagai contoh, aktiviti hiking atau mendaki bukit di mana aktiviti ini sedang mendapat tempat di kalangan Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang kehidupan dan umur. Penggaram melihat trend atau minat orang ramai dalam aktiviti hiking semakin meningkat. Dan bukan itu sahaja, aktiviti ini juga telah lama dijalankan sebagai riadah harian oleh sesetengah komuniti yang tinggal berhampiran kawasan hutan rekreasi. Malangnya bayaran permit menjalankan aktiviti hiking di hutan simpan sebanyak RM10.00 ke atas setiap individu dirasakan mahal bagi komuniti berdekatan yang sebelum ini menjalankan aktiviti ini sebagai aktiviti harian. Penggaram berharap agar caj RM10.00 dapat dikaji semula atau Penggaram mencadangkan agar kerajaan mewujudkan pas bermusim sebagai langkah penjimatan kepada pengunjung hutan di samping dapat memperkemas dan mempermudah proses pendaftaran.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata, Penggaram berharap agar Johor kekal makmur, bermuafakat serta dihindari dari budaya dan anasir pelampau yang dimainkan oleh sesetengah pihak kuasa, sesetengah pihak ketika ini. Kita Bangsa Johor perlu kekal dengan cara Johor. Johor perlu sentiasa menjadi Johor. Muafakat itu berkat. Semoga Allah berkat Johor. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Penggaram. Disambung seterusnya, dijemput YB Kemelah.

Salam Muafakat Johor, salam Maju Johor, makmur bersama rakyat dan salam keluarga Malaysia. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker memberi peluang kepada Kemelah untuk bersama-sama dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan ini. Sebelum lidah ini berbicara dengan lebih panjang, izinkan Kemelah merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik panjatkan doa kesyukuran semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan

Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia serta berada dalam keadaan sihat wal’afiat. Kemelah juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT yang telah berjaya menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Andang-andang madu kelulut, pokok asam tempat bersarang, pandang-pandang semua sudut, Johor jelas makin cemerlang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maka mulakan ucapan perbahasan pada kali ini tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya tuturkan di Dewan yang mulia ini selain ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar selaku pemimpin tertinggi dalam tadbir negeri yang telah membentangkan belanjawan negeri yang terbaik. Belanjawan yang dibentangkan pada kali ini merupakan bajet yang menjadi jawapan kepada saya pada dua persoalan utama. Pertama, mengukur paksi ekonomi dan memacu pertumbuhan rancak dengan maksud meningkat hasil serta pendapatan melalui empat faktor utama yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada belanjawan yang lalu.

Kedua, memastikan perbelanjaan terurus untuk memperkemas prasarana dan memastikan pengagihan adil dan saksama buat segenap lapisan masyarakat dan bajet ini menjawab kedua-dua persoalan ini setelah kita mendengar pembentangan Bajet 2023 yang lalu. Ini merupakan satu belanjawan negeri yang cukup luar biasa dan bermanfaat untuk setiap orang, lapisan masyarakat di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maka menjunjung hasrat saya sama, saya juga ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini terhadap beberapa perkara yang cukup penting dan perlu diutamakan oleh kita semua selaku pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab membawa besar harapan. Melihat kembali pada Teras Keempat belanjawan negeri dalam Strategi Ketiga : Infrastruktur Bekalan Air, Elektrik dan Telekomunikasi amat penting dalam era globalisasi sekarang. Terdapat beberapa isu utama dalam DUN saya di mana saya percaya ADUN berdekatan juga turut mengalami isu yang sama. Masalah bekalan air yang kerap terputus di kawasan FELDA Redong, FELDA Kemelah dan Kampung Pogoh serta perumahan taman-taman Bukit Siput bukan sahaja dalam tempoh sebulan, seminggu bahkan ianya terlalu kerap sehingga berlaku dua tiga kali dalam tempoh satu minggu hingga menyebabkan penduduk acap kali menghubungi Wakil Rakyat tanpa henti. Perkara ini lebih menjadi tanda tanya kepada penduduk mengapa air kerap terputus di kala musim tengkujuh sedangkan ketika itu air amat diperlukan dalam pelbagai guna.

Dalam Mesyuarat Bulanan Daerah, isu bekalan air ini sudah lali didengari pemimpin setempat memandangkan ianya seperti tiada noktah penyelesaian meski pun telah dirujuk kepada, maaf, dirujuk beberapa kali kepada pihak berkaitan. Kita semua maklum bekalan air adalah penting bagi setiap orang dan kejadian ini dilaporkan sudah terlalu lama berlaku dan masih lagi ditakuk lama sedangkan saya dimaklumkan peruntukan telah disediakan untuk permasalahan ini tetapi namun ianya masih belum lagi dapat diselesaikan. Mengambil ruang yang sama ini juga, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula peruntukan baharu yang lebih bersesuaian setelah mengambil kira dari segi aspek pengambilan tanah dan pengurusan kerja-kerja dalam kawasan FELDA.

Setakat ini antara masalah yang menyebabkan peruntukan telah sedia ada namun tidak dapat dilaksanakan ialah akibat kekangan laluan paip-paip utama air yang terpaksa melalui kebun peneroka serta tanah persendirian individu yang tertentu. Dalam FELDA Redong kita mempunyai lebih 700 peneroka FELDA dan kejadian bertambah buruk apabila anak-anak perantauan pulang ke kampung halaman, tidak pulang sewaktu hari cuti panjang. Saya tidak menafikan peranan SAJ Ranhill dalam mengutamakan aduan pelanggan-pelanggan mereka, namun setiap kali kejadian bekalan air terputus mereka juga tidak dapat menyelesaikan dalam tempoh singkat. Perkara ini perlu diakui bersama kerana terlalu banyak tempat yang perlu diselia ketika air terputus dan saya dimaklumkan betapa usahanya SAJ Ranhill sehingga membuat pesanan istimewa bagi daerah Segamat

terutamanya DUN Kemelah dengan tambahan sebuah tangki lori air bagi memastikan bekalan sampai kepada penduduk di sini secara cepat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada Teras Ketiga Belanjawan Negeri dalam Strategi Pertama : Pembangunan Perumahan Rakyat Bilangan 111, penyediaan Rumah Mampu Milik Johor ini merupakan satu pembangunan yang cukup dinamik bagi pelaksanaan dalam DUN Kemelah. Kita perlu maklum bahawa Segamat telah dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran dari Majlis Daerah pada 1 Januari 2018 yang lalu. Namun begitu Kemelah melihat perlunya kerajaan mengkaji untuk mendirikan perumahan berkonsepkan sewa beli seperti mana yang didirikan di dalam kawasan bandar Johor Bahru. Perkara ini sudah menjadi kehendak penduduk dalam DUN Kemelah memandangkan dalam sesi lawatan saya rumah ke rumah.

Antara masalah yang dihadapi mereka ialah tidak mampu beli rumah yang didirikan pemaju sekarang dengan nilai yang jauh dari luar kemampuan dan taraf hidup penduduk di sini masih lagi rendah. Kita perlu mencari jalan keluar dari pemasalahan perumahan ini dan tidak bergantung kepada pemaju swasta yang sentiasanya membina rumah ratus ribu dengan sasaran pembeli dari golongan mewah agar perumahan rumah murah dapat dibina segera bagi menampung permintaan dari golongan B40 dan miskin tegar.

Yang Berhormat Dewan Speaker, meskipun kita telah menggunakan cara permohonan yang lebih efisien hanya melalui sistem online untuk mendaftar rumah PPR, namun masih ada segelintir penduduk mengeluh atas sistem sedia ada di mana permohonan telah dikemaskini acap kali, namun tiada jawapan sehingga sudah membeli rumah yang jauh lebih mahal memandangkan keadaan mendesak untuk memiliki rumah dalam tempoh masa tertentu. Saya berpendapat sistem sedia ada sudah memadai jika ingin mengurangkan kos-kos dokumentasi secara semuka atau akan tetapi semakan kelayakan atas setiap permohonan perlu disegerakan. Perkara ini menjadi rungutan dan beban terutama kepada ibu tunggal dan memiliki anak ramai dan perlu memiliki rumah sendiri dalam tempoh segera akibat kematian suami atau tidak mampu membayar sewa yang semakin tinggi harga diletakkan sekarang. Kerajaan Johor perlu ambil kira dari semua aspek bagi mempercepatkan proses kelulusan dan mungkin boleh diutamakan kepada pemohon yang betul mahukan tempat berteduh dalam kadar segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika diimbau kembali belanjawan negeri pada Teras Keempat, Strategi Pertama dalam Inisiatif Kedua : Menaik Taraf Kemudahan Lampu Jalan Bilangan 141, saya berpendapat dengan kelulusan sebanyak RM19.9 juta bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan lampu jalan memang sewajarnya diberikan terutama kepada kawasan luar bandar seperti Kemelah. Hal ini adalah menyentuh tentang infrastruktur jalan raya di Segamat terutamanya Yang Berhormat Datuk Speaker, jalan raya dari Labis ke Bandar Putra yang bergelombang. Kita semua sedia maklum bahawa permukaan jalan yang bergelombang pastikan mengundang keadaan yang kurang selamat untuk pengguna. Saya mohon untuk diberi pertimbangan bijaksana kerana jalan tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat. Saya mohon untuk permasalahan ini didengari agar ia boleh dibaiki secepatnya.

Keduanya adalah terdapat banyak jalan utama di daerah Segamat kurang dipasang lampu jalan yang pastikan apabila di kala menjelang malam keadaan di jalan-jalan terlalu gelap. Mungkin pihak kerajaan melalui agensi terlibat boleh melakukan bancian terperinci untuk kawasan-kawasan jalan-jalan utama yang memerlukan tambahan lampu jalan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melihat kembali kepada Teras Ketiga, Strategi Kedua : Kebajikan Rakyat yang mana ianya selaras dengan Agenda Maju Johor, kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat tanpa terkecuali. Jika kita renungkan kembali dewasa ini kos hidup terlalu tinggi dan amat dirasai oleh semua sejak kebelakangan ini. Dalam tempoh

beberapa bulan lalu, kenaikan harga minyak masak yang naik secara mendadak, ayam, telur serta barang asas lagi menjadi tekanan bagi setengah pihak terutama golongan B40.

Dalam usaha kerajaan yang cuba mengawal semula harga-harga barang asas, masih ada golongan yang merasai kenaikan barang keperluan hari ini. Bagi golongan B40, kemungkinan juga sedikit lega apabila kerajaan dengan segera meletakkan harga siling bagi barang tersebut, tetapi bagaimana pula kesan kepada penerima bantuan bulanan dari JKM? Sehingga hari ini saya melihat dalam DUN Kemelah masih mencatatkan lebih daripada 812 penerima bantuan JKM dari pelbagai skim seperti bantuan warga emas, bantuan am, bantuan awal kanak-kanak, pesakit terlantar dan pelbagai skim yang lain. Mereka ini bergantung harap dengan bantuan bulanan JKM mengikut kriteria yang telah diluluskan dan hanya sekadar meringankan beban tanggungan bukan penerima sepenuhnya tetapi kepada penjaga seperti dua kes terpencil dalam DUN Kemelah yang penjaga terpaksa menjaga dua orang anak yang dikategori pesakit terlantar dengan masing-masing menerima RM500.00 setiap orang. Dengan jumlah ini semestinya tidak dapat menampung kehidupan bulanan mereka kerana tidak semuanya mempunyai pekerjaan samping dan kita juga mengerti pesakit kronik selalunya perlu tanggung kos tinggi dalam perubatan. Selain keperluan harian mereka malah ada yang terpaksa menyara anak-anak yang masih bersekolah setelah kematian suami atau isteri tercinta. Dengan ini Kemelah rasa sudah tiba masanya kerajaan melalui JKM menilai dan mengkaji semula bantuan bulanan yang disalurkan kepada penerima memandangkan harga keperluan asas semakin tinggi dan menyulitkan penerima bantuan untuk meneruskan hidup mereka bagi yang betul-betul bergantung harap pada bantuan kerajaan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin saya nyatakan dalam Teras Keempat, Strategi Kedua: Pengangkutan Awam Johor bagi Bilangan 146. Ianya memang merupakan nadi penghubung rakyat dalam DUN Kemelah terutamanya di dalam dua buah FELDA yang agak jauh dari bandar jika hendak dibandingkan dengan taman-taman perumahan yang lain. Keseluruhan penduduk bagi dua FELDA merangkumi lebih 1,500 penduduk bagi dua buah FELDA ini. Dahulu difahamkan terdapat pengangkutan awam masuk ke situ, namun hari ini tiada pengangkutan awam lagi disediakan untuk melalui kawasan ini. Melihat akan perkara ini kebanyakan anak muda mengambil keputusan menaiki motosikal sendiri untuk ke bandar. Namun begitu perkara yang membimbangkan ialah mereka menunggang tanpa lesen yang sah dan mengundang bahaya kepada diri sendiri serta orang lain. Tetapi kita juga faham tiada pilihan untuk mereka ke bandar dan membantutkan mereka mencari kerja di bandar akibat masalah pengangkutan awam di sini. Seharusnya perkara ini boleh di terperincikan mencari alternatif lain seperti membuka laluan baru kepada Bas Muafakat Johor atau sebagainya demi kesejahteraan penduduk di dua buah FELDA tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam belanjawan negeri pada Teras Keempat, Kemudahan dan Keperluan Asas, saya melihat inisiatif keempat strategi pertama, Penyelenggaraan Sekolah Agama, Masjid dan Surau Serta Tanah Perkuburan bagi bilangan 143, 144, 145 telah merangkumi semua aspek kebajikan yang diperlukan. Saya begitu gembira apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyatakan dalam bilangan 143 sebanyak RM9.4 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta peralatan dan perabot sekolah-sekolah agama di seluruh negeri Johor. Melalui sejumlah amaun yang agak besar bagi saya ini diharapkan dapat dilihat sekolah-sekolah agama dalam DUN Kemelah yang tidak kurang masih memerlukan perhatian tinggi dari pihak kerajaan negeri memandangkan kami dari kawasan luar bandar. Ada pun begitu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya turut bersyukur dan berterima kasih atas pembentangan bajet Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar yang sentiasa mengambil kira dari segi aspek termasuk RM 2.7 juta yang diperuntukkan untuk baik pulih serta penyelenggaraan masjid dan surau sepertimana yang dinyatakan bilangan 144.

Masjid di kawasan kampung-kampung acap kali seperti tertinggal dari era arus pembangunan di mana masih terdapat masjid yang jemaah terpaksa solat dalam rintisan

hujan akibat atap yang bocor dan ada pula yang telah mempunyai peruntukan akan tetapi tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor tertentu. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB EXCO Agama yang telah meneliti dan difahamkan sedang dalam proses untuk kerja-kerja baik pulih Masjid Kg. Melayu Raya bagi kerja-kerja membina dan baik pulih ruang solat wanita dalam tempoh terdekat. Kg. Melayu Raya ini mempunyai kampung rangkaian yang lain dan sehingga ianya selamat digunakan setelah kerja baik pulih selesai. Jemaah akan menumpang solat di Surau Kg. Genuang untuk separuh waktu sekiranya kerja baik pulih itu bermula kelak. Inilah yang kita dambakan di kawasan kampung agar mereka turut menikmati nikmat yang diberi oleh kerajaan dalam menjaga salah satu fasiliti utama di kampung mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Ketiga dalam belanjawan negeri bagi strategi kedua, Kebajikan Rakyat Perlu Diperkukuhkan Melalui Institusi. Kedua, mengukuhkan institusi keluarga dan memperkasakan wanita begitu meluas dan Kemelah yakin melalui peruntukan sebanyak RM4.94 juta adalah sejajar dengan sasaran yang lebih tinggi dalam menghadapi cabaran psikososial masa kini. Jika kita lihat contoh waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang agak lama dikenakan pada kita sejak berapa tahun yang lalu, telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara bahkan penduduk setempat. Dalam tempoh ini ramai telah kehilangan kerja, mata pencarian, insan tersayang dan penuh dugaan dari awal PKP dilaksanakan hingga masuk ke fasa endemik. Taburan penjaja baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan tidak dapat dinafikan dan kita menerima ini sebagai ikhtiar hidup keluarga masing-masing bagi meneruskan kehidupan mereka. Saban hari dunia semakin mencabar dan golongan wanita kini sudah boleh dikatakan hanya duduk di rumah menjaga anak, akan tetapi golongan wanita masa kini sudah mampu bersaing hebat dalam pelbagai bidang terutamanya bidang perniagaan sendiri, bukan makan gaji. Perkara ini dapat dilihat melalui permohonan yang diterima di mana rata-rata memerlukan bantuan permulaan berniaga dan hampir setiap minggu saya menerima permohonan bermotifkan perniagaan sendiri. Dahulu kita ada Skim 1 Azam di mana purata ibu tunggal dan wanita yang ditinggal atas pelbagai alasan suami, dapat dibela melalui skim tersebut. Alangkah baiknya jika kerajaan melaksanakan satu skim khas untuk golongan ibu tunggal yang tabah mencari rezeki sendiri sebagai permulaan tanpa bergantung harap kepada sumbangan sepanjang hayat mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada Teras Pertama belanjawan negeri dalam strategi ketiga, Inisiatif ketiga, Kurniaan Tanah Kepada Generasi Kedua FELDA bilangan 57, Kemelah mempunyai dua buah FELDA yang masing-masing lagi menuntut lot-lot tanah bagi generasi kedua. FELDA Redong dan FELDA Kemelah masih menanti racikan terkini untuk dikurniakan pada mereka yang masih lagi dalam proses di mana menempatkan lebih 100 penerima bagi kedua-dua FELDA tersebut. Kemelah berharap seiring dengan inisiatif ini dapat memberi lebih kemakmuran dan kesejahteraan kepada generasi kedua di masa akan datang. Selain itu juga, saya juga turut bersimpati mengenangkan nasib pemilik rumah terbengkalai di Taman TAR yang masih belum diselesaikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon jasa kerajaan negeri Bahagian Perumahan dapat menyelaraskan semula semua pemaju-pemaju perumahan agar tiada lagi isu-isu berbangkit seperti rumah terbengkalai dan pergi tanpa rasa tanggungjawab. Kita perlu pastikan mereka berdaftar terlebih dahulu dan sebagainya untuk memudahkan kemudian hari agar mereka terikat tidak boleh mengundur diri atau lari sebaik sahaja unit rumah yang bakal dibina telah dijual kepada pembeli.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, melihat helai demi helai antologi pembangunan yang berlipat-lipat kini tentunya seluruh rakyat Johor terutamanya rakyat Segamat sangat menghargainya. Kita yakin sungguh bahawa Segamat walau letaknya di ceruk tidak akan berada di pinggiran lagi, kerana kita melihat kesungguhan kerajaan merapatkan jurang pembangunan sambil menolak ke tepi apa juga cabaran-cabaran

menghalau walaupun pancaroba yang cuba-cuba menduga. Senada dengan ungkapan ini kita mohon berharap agar apa yang saya ketengahkan awal-awal tadi hingga ke akhir kiranya jua mendapat perhatian dan pertimbangan kerana pokok pangkalnya, kerajaan sememangnya komited membela nasib rakyat, mendengar suara hati setiap rakyat seiring dengan tema Maju Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih YB Kemelah. Diteruskan, dipersilakan Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Bismillahirrahmanirrahim. (Membaca Doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam maju Johor dan salam mesra sentiasa Sedili. Dari Gembut ke Bukit Easter, singgah sebentar di belukar durian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, giliran Sedili bahas belanjawan. (Selawat Nabi).

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya patik mewakili rakyat di dalam DUN Sedili ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena ulang tahun hari keputeraan Baginda yang jatuh pada tanggal 22 hari bulan yang lalu, Semoga Baginda diberikan kesihatan yang berpanjangan dan dapat menaungi rakyat dan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor untuk tahun 2023. Walaupun ini adalah belanjawan kali pertama oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor. Kita dapat lihat satu belanjawan yang realistik. Berpaksikan 6 teras, penuh dengan ikhtiar strategi dan berbagai inisiatif. Belanjawan ini dipacu dengan semangat, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, apabila kita dengar dengan teliti, statistik-statistik yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tempoh hari, apabila pelaburan yang tinggi masuk ke dalam negeri Johor, dan kadar pengangguran yang menurun, inilah buktinya kenapa kerajaan negeri pada hari ini sangat realistik dan berpijak di bumi yang nyata. Dengan semangat kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor, kerajaan negeri pada hari ini tidak hanya tunggu dan lihat, sebaliknya bertindak tegas dan proaktif. Sememangnya bila kita sedang menghadapi fenomena pasca COVID-19 dan cabaran ekonomi dunia pada tahun hadapan, peranan, cabaran sesebuah kerajaan adalah menambah saiz ekonomi bagi membolehkan kita berbelanja untuk rakyat bukan lagi berjimat cermat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam pada kita mengembangkan kek ekonomi, merancakkan aktiviti ekonomi, kita sekarang terpalit dengan keluhan oleh usahawan kita, iaitu kumpulan pemborong ataupun sub-kontraktor yang rata-rata boleh kita kategorikan sebagai usahawan kecil berlesen D1 dan D2 CIDB ini. Keluan mereka kepada syarikat-syarikat konsesi, dengan kadar harga barang yang semakin menekan, mereka terpaksa pula menunggu bayaran sehingga 6 bulan selepas siap kerja. Perkara yang acap kali kita dengar ini seolah-olah menjadi kebiasaan dengan keuntungan yang sedikit dan terpaksa tunggu claim selama 6 bulan adalah sangat menekan kepada golongan ini. Adakah perkara ini dalam makluman EXCO berkaitan dan apakah perancangan penambahbaikan mengelakkan perkara ini daripada berulang?

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, insentif kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA. Apabila kerajaan negeri meluluskan tanah untuk generasi kedua FELDA, kita amat berterima kasih dan bersyukur dan di sebelah Sedili, di kawasan saya ada 6 buah tanah rancangan FELDA yang terlibat sama. Dan juga 3 buah yang terletak di kawasan kampung saya iaitu di DUN Johor Lama. Sesungguhnya aktiviti mengurus tanah untuk generasi kedua FELDA ini sedang rancak daripada penubuhan Jawatankuasa Bertindak Permohonan sehinggalah ianya diluluskan. Kami sedang menguruskan aktiviti ini. Cumanya ada 2

perkara yang harus diberikan perhatian. Permohonan fasa kedua yang mana semasa PKP ramai yang tidak mampu untuk menyelesaikan bayaran premium tanah. Tetapi permohonan baru telah dikemukakan untuk menggantikan permohonan yang asal. Perkara ini banyak berlaku di setiap tanah rancangan FELDA dan sehingga kini masih belum dapat apa-apa kelulusan.

Perkara yang kedua, kita minta pihak JUPEM untuk bertindak lebih agresif bagi memastikan batu-batu sempadan dapat ditanam dengan segera ini disebabkan apabila pihak FELDA sedang berusaha menyediakan skim-skim baru pembinaan rumah untuk pemilik tanah ini. Proses ini terbantut apabila perkara tidak dapat diselesaikan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan tanah dalam rancangan ini, kami juga punyai satu masalah yang besar, kira-kira seluas 40 ekar tanah di FELDA Bukit Aping Timur, yang dirancang untuk dibangunkan untuk perumahan generasi kedua FELDA, PGBF telah terbengkalai begitu lama. Kami sedar projek ini adalah dari persekutuan, dari FELDA, cumanya kita nak cadang kerajaan negeri Johor melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPNJ) agar boleh mengambil alih projek ini untuk disiapkan dan dimanfaatkan oleh generasi kedua FELDA. Jika tidak boleh, kita minta Pentadbir Tanah Negeri untuk mengeluarkan arahan agar tanah tersebut dikosongkan. Ini kerana kita tidak boleh membiarkan tanah seluas ini yang duduknya di kawasan tanah rancangan menjadi punca kepada bencana pembiakan binatang dan gejala sosial yang tidak sihat yang lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menerusi budaya digital ini pula, insiatif infrastruktur bagi rangkaian telekomunikasi, ini perlu diambil berat. Bila Yang Amat Berhormat Menteri Besar memperhebatkan budaya digital ini juga, ianya haruslah dirasai di setiap pelosok peta dalam negeri Johor. Di Sedili contohnya, Kampung Rumput itu ramai kawan-kawan komplen. Nak video call emak ayah mereka di kampung pun susah. Kadang-kadang ada Internet, kadang-kadang tak ada Internet. Dah nak cakap 10 minit pun jadinya 30 minit, sebab kena call banyak kali asyik terputus sahaja. Di Kampung Tuan Seh pula, ada full bar linenya tapi nak download emel pun susah, apa lagi nak tengok live streaming Belanjawan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Oleh yang demikian, bagi menyokong inisiatif dan strategi Belanjawan 2023 berkaitan pendigitalan ini, kami sangat mengharapkan infrastruktur bagi rangkaian telekomunikasi ini dapat ditambah baik di dalam kawasan Sedili.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, apabila Belanjawan menyentuh insentif kepada nelayan ini, saya antara orang yang sangat gembira, sebab kami ada komuniti nelayan yang besar di Sedili, mana taknya Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia pun ada ditempatkan di Sedili. Tak cukup dengan itu, Persatuan Nelayan kami pun sangat aktif dan saling menjadi rakan strategik bagi LKIM. Cumanya, yang saya sangat berharap, saya sangat berharap kerajaan negeri boleh lihat menerusi Belanjawan ini bagaimana mungkin satu industri kepingan daging ikan ataupun dengan izin, dengan izin, iaitu fillet dapat dipelopori di Sedili. Industri akan menjadi Pusat Sehenti Pengumpulan dan Penjualan Hasil Laut yang mampu dipasarkan secara global dan ke hadapan. Sekali gus, dapat meningkatkan hasil dan memperkasa pendapatan Persatuan Nelayan dan juga ahli-ahlinya. Berkaitan isu nelayan juga, seperti mana yang pernah saya bangkitkan pada sesi yang lepas, muara Sungai Kuala Sedili yang tohor juga, saya harap mendapat perhatian yang sewajarnya bagi memudahkan aktiviti nelayan dilakukan setiap hari. Di situ juga, untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada ditempatkan MARITIM, sebuah agensi kerajaan iaitu MARITIM.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yayasan Pelajaran Johor kerana telah mewujudkan Akademi Minyak dan Gas Johor di kawasan Kampung Mawai Baru. Menerusi program latihan kemahiran Johor yang disebut dalam Belanjawan 2023 ini, saya sangat berharap satu-satunya institusi, Institut Pengajian yang berada di kawasan Sedili ini tidak terpinggir dan harus di perhebatkan untuk

manfaat bukan sahaja pelajar tetapi industri hiliran yang lain. Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua untuk menuntut ilmu di kawasan Sedili. Luangkanlah masa untuk hadir ke tempat-tempat menarik yang berada di Sedili. Sesungguhnya memang banyak tempat peranginan menarik di kawasan Sedili.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, orang muda Johor diberikan perhatian khusus. Pelbagai insentif dan strategi diperuntukkan bagi pembangunan generasi akan datang di negeri Johor. Infrastruktur, program pembangunan dan sebagainya. Tapi saya dengar dengan teliti tiada sentuhan kepada Persatuan-Persatuan Belia di peringkat kampung ataupun daerah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Persatuan-Persatuan Belia ini harus diberikan galakan kerana daripada Persatuan Belia inilah akan lahirnya pemimpin pelapis tempatan di situ. Persatuan Belia ini juga adalah platform sedia ada yang sudah lama berada di dalam sistem, mereka sudah ada sistem mereka sendiri. Sebagai contoh, Persatuan Belia Kampung ini akan dinilai dan diberikan anugerah di peringkat negeri ataupun kebangsaan. Kegusaran kita apabila banyak Persatuan Belia Kampung semakin dipinggirkan dan menghantar laporan kepada kita pun gagal. Oleh yang demikian, kita mengharapkan perhatian dan peruntukan diberikan kepada semua Persatuan Belia dalam negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai rumusan, saya menyokong penuh Belanjawan ini dengan beberapa pertimbangan yang saya rasa perlu untuk memastikan kemakmuran ekonomi negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor dapat direalisasikan dengan cabaran mendatang. Saya menyeru kepada semua kumpulan pelaksana supaya kita dapat memastikan agenda kerajaan negeri ini sampai kepada rakyat, agenda kerajaan negeri ini berjaya mengharungi cabaran 2023 nanti dan yang paling penting Pejabat Pusat Khidmat N36 Sedili yang sentiasa bersedia menjadi platform untuk merealisasikan agenda ini untuk terus kepada rakyat demi negeri Johor yang tercinta ini.

Sebelum mengakhiri ucapan perbahasan saya ini, saya mengambil kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini untuk menyampaikan penghargaan terima kasih kepada Ketua-Ketua Jabatan serta kakitangannya dan agensi kerajaan negeri, mahupun persekutuan di bawah pimpinan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Pegawai Daerah Kota Tinggi yang sentiasa pro-aktif demi kesejahteraan rakyat di DUN Kota Tinggi khususnya dan di daerah Kota Tinggi keseluruhannya. Moga usaha ini sentiasa diteruskan pada masa yang akan datang dengan lebih baik lagi. Dan saya juga mendoakan kesihatan yang baik kepada mereka semua.

Akhir kalam, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sekian, wabilahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Sedili mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Tahniah, lengkap, jimat masa. Jemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Dewan Negeri serta pegawai-pegawai kerajaan yang berada dalam Dewan yang mulia ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerana telah memberi peluang dan kesempatan kepada Gambir bersama-sama menyertai dalam Perbahasan Rundingan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) untuk tahun 2022 ini.

Terlebih dahulu patik mewakili seluruh rakyat di kawasan DUN Gambir merafak sembah setinggi kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor bersempena Hari Keputeraan Baginda pada tanggal 22 November yang lalu. Gambir juga mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan

tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, begitu juga diucapkan tahniah kepada seluruh Ahli-Ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan daripada Pakatan Harapan kerana sudi menerima Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional sebagai rakan strategik membentuk Kerajaan Perpaduan tersebut. Pok amai-amai, belalang kupu-kupu, Alhamdulillah rakan bertambah ramai, yang masih malu-malu tu, marilah sama-sama kita berpadu.

Semoga Kerajaan Perpaduan ini akan terus bergerak dalam satu pasukan yang kukuh, sederap selangkah bagi mendepani cabaran ekonomi negara pada tahun hadapan. Semoga juga Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini melihat dan mengiktiraf negeri Johor ini sebagai rakan strategik yang perlu dimajukan secara bersama. Semoga juga empat Menteri Kabinet yang terpilih dari negeri Johor akan turut sama berjuang untuk mendapatkan peruntukan yang lebih adil bagi negeri Johor untuk tahun-tahun berikutnya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada tanggal 1 Disember yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah membentangkan satu Belanjawan 2023 untuk negeri Johor. Pembentangan selama dua jam itu sarat dengan pelbagai inisiatif bagi merangsang pembangunan bagi merancakkan ekonomi di samping menumpu kepada pembelaan kepada rakyat. Selama dua jam itu juga saya menekuni secara teliti, mendengar tiap bait ucapan. Selama dua jam itu jugalah saya di sini terpaksa dengan izin Datuk Speaker, stay tune, stay cool, control handsome kerana kamera fokus kepada kita. (Ketawa.) Kebetulan saya duduk di belakang Yang Amat Berhormat Datuk MB.

Datuk Speaker, tema yang dipilih dalam Bajet pada kali ini ialah Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat. Ternyata tema ini sendiri sudah cukup membuktikan komitmen, kesungguhan kerajaan yang ada pada hari ini untuk memastikan kemajuan yang dibina, yang ingin dicapai oleh negeri Johor ini, turut sama memberi manfaat, turut sama memberikan benefitnya itu akan sampai kepada rakyat. Malahan saya memuji dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh barisan pimpinan EXCO dan juga Yang Amat Berhormat kerana telah berjaya membentangkan Belanjawan surplus ataupun lebihan. Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan yang ada pada hari ini untuk memastikan setiap hasil pendapatan negara itu dibelanjakan dengan penuh berhemah yang pastinya memberi manfaat kepada rakyat dan juga negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Teras Pertama Tadbir Urus Kerajaan. Iltizam dan keazaman kerajaan negeri Johor dalam mentransformasikan tadbir urus kerajaan bagi menghasilkan sistem penyampaian awam yang berintegriti, berprestasi tinggi, cekap dan berkesan sangat-sangat kita puji bagi memastikan agenda memaju dan memakmurkan negeri Johor ini dapat dicapai. Saya ingin merujuk kepada inisiatif ketiga iaitu Meningkatkan Tahap Profesionalisme Institusi Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat. Banyak kali telah pun disentuh oleh rakan-rakan Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini bagaimana institusi ini perlu dimartabatkan ataupun perlu dipertingkatkan martabatnya. Pertama, Yang Berhormat Benut menyatakan bahawa ia perlu rebranding, nama itu perlu ditukar dan dijenamakan semula sesuai dengan keadaan yang ada pada hari ini.

Begitu juga saya menyokong penuh cadangan untuk meningkatkan elaun ataupun kadar bayaran kepada Ketua-Ketua Kampung ini, kerana mereka merupakan, sebagaimana yang kita ketahui Ketua Kampung ini merupakan frontliners kita dengan izin yang akan berhadapan, orang pertama yang akan berhadapan dengan masyarakat, pelbagai isu mereka terpaksa hadapi terlebih dahulu sebelum dibawa kepada agensi-agensi kerajaan. Tugas mereka tujuh hari seminggu Datuk Speaker, 24 jam sehari Datuk Speaker. Kadar bayaran yang ada pada hari ini, kadar elaun pada hari ini memang tidak cukup, sudah sampai masanya kita mengkaji, saya mengharapkan kerajaan negeri Johor ini cubalah, usahakan sesuatu untuk meningkatkan elaun Ketua Kampung, kalau boleh sekurang-kurangnya ke tahap RM1,500.00 pada tahun depan. (Dewan bertepuk.)

Yang Berhormat Datuk Speaker, sejujurnya saya lihat bahawa mereka ini, Ketua Kampung ini berada, tugas mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran, berhadapan dengan risiko-risiko tak menentu, kemalangan, kecederaan dan musibah-musibah yang lain. Maka pada hari ini, suka saya nak mencadangkan apakah perlu, adakah kewajarannya untuk Ketua-Ketua Kampung ini dimasukkan dalam skim insurans ataupun sekurang-kurangnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah PERKESO. Saya difahamkan bahawa di bawah Skim SKSPS ini, 80% bayarannya telah pun ditampung ataupun disubsidi oleh kerajaan pusat. Manakala bakinya 20% setakat lebih kurang RM46.00 itu, mohon supaya kerajaan negeri dapat pertimbangkan untuk kita tampung dan kita insuranskan, mereka masukkan mereka ini di bawah Skim SKSPS sekurang-kurangnya mereka beroleh ataupun waris mereka akan beroleh pembelaan sekiranya ada apa-apa berlaku kepada mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya seterusnya beranjak kepada Teras Kedua Pembangunan Ekonomi. Dalam soal pembangunan ekonomi ini, kerajaan Johor berhasrat menyediakan peluang latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan. Ia merupakan satu inisiatif yang baik bagi memastikan modal insan agar tenaga kerja yang dilahirkan nanti benar-benar mendapat permintaan dalam pasaran. Walau bagaimanapun, satu perkara yang saya ingin bawakan pada hari ini adalah berkaitan dengan masa depan murid-murid, pelajar yang tercicir dalam sistem pendidikan negara. Murid-murid yang tercicir dan tidak meneruskan persekolahan di peringkat menengah merupakan satu kelompok orang muda yang seolah-olah terasing dan terpinggir daripada segala usaha memajukan dan meningkatkan kemahiran modal insan ini. Kelompok ini mungkin tidak ramai Datuk Speaker, tetapi dengan membiarkan mereka itu hanyut dalam dunia mereka sendiri mungkin akan mencetuskan masalah sosial dan juga mencetuskan konflik dan kebimbangan kepada masyarakat pada masa akan datang. Sebagai contoh, di daerah Tangkak sahaja setakat November yang lalu, jumlah murid tercicir ini melebihi angka 100 orang dan sehingga kini tiada suatu tindakan yang komprehensif selain daripada tindakan memujuk oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah. Gambir melihat isu ini perlu ditangani dengan lebih inklusif, menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak. Kumpulan khidmat sokongan yang akan ditubuhkan, yang akan diwujudkan seharusnya menjadikan kelompok ini sebagai salah satu sasaran mereka supaya ianya dapat dikenal pasti dan dijejaki dan jika boleh serapkanlah mereka ini dalam program kemahiran yang disediakan oleh kerajaan Johor yang tidak mensyaratkan kelulusan SPM sebagai pra syarat kelayakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Strategi Ketiga : Pemulihan Ekonomi iaitu Memperkasa Industri Pelancongan. Saya mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM14.3 juta untuk mempergiat kerja-kerja softscape dan hardscape di pintu masuk utama negeri di selatan Johor. Walau bagaimanapun, saya merayu agar kerajaan negeri Johor yang ada pada hari ini agar dapat juga menyalurkan peruntukan kepada daerah Tangkak untuk pelaksanaan kerja-kerja tersebut. Ini adalah kerana kerajaan Johor telah mengisytiharkan Tangkak sebagai sebuah daerah ekopelancongan dan daerah Tangkak ini merupakan pintu masuk ke negeri Johor dari arah utara. Janganlah hendaknya suatu hari nanti daerah Tangkak ini dikenali sebagai halaman belakang Melaka pula. Jadi saya mohon supaya dalam keghairahan kita membangunkan, mencantikkan bandar raya dan kota raya Johor Bahru ini, bandar kecil seperti Tangkak ini jangan ditinggal dan jangan dilupakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Inisiatif 2 : Penambahbaikan Infrastruktur Pelancongan. Saya mengalu-alukan dan mengucapkan jutaan terima kasih peruntukan awal sebanyak RM1.8 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan-kemudahan di Taman Negara Johor – Gunung Ledang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan di Taman Negara ini, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri apakah perancangan yang sebenarnya terhadap pengoperasian Taman Negara Air Terjun ini dan juga resort yang berada di sekitarnya? Ini adalah kerana adakah perancangan kerajaan yang ada pada hari ini ingin

menyerahkan pengurusan ini kepada sektor swasta yang mana kita telah pun berhadapan dengan pengalaman pahit dengan sektor swasta sebelum ini atau adakah juga kerajaan berhasrat untuk mewujudkan sebuah anak syarikat yang berfungsi meneroka perniagaan berasaskan pelancongan dan hospitaliti. Insya-Allah Gunung Ledang ini boleh dijadikan sebagai projek pertama syarikat tersebut.

Datuk Speaker, seterusnya saya merujuk kepada Strategi Kelima Teras Kedua : Memperkasa Industri Makanan. Saya mengalu-alukan Inisiatif Kelima dalam tajuk Pembangunan Industri Tanaman Makanan Utama dan Komoditi Berpotensi. Sebanyak RM3.3 juta akan diperuntukkan bagi industri makanan utama ini yang akan memberi manfaat kepada 1,000 orang petani dan ataupun usahawan tani. Saya juga mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM1.9 juta untuk Program Kolaborasi Strategik Pemodenan dan Pembangunan Lestari. Inisiatif-inisiatif dan peruntukan ini pastinya memberi manfaat dan membantu petani, pesawah dan pemain industri makanan untuk mempertingkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di Gambir terdapat sawah padi seluas 264 hektar yang kini sedang diusahakan oleh 272 pesawah. Walau bagaimanapun, pada musim menuai yang lalu hampir kesemua pesawah-pesawah ini mengalami kerugian akibat kemerosotan hasil tuaian yang sangat teruk. Saya difahamkan hasil tuaian keseluruhan hanya sekitar RM60, RM70 tan metrik berbanding hasil keseluruhan biasanya RM600, RM700 tan metrik. Punca kemerosotan hasil ini adalah disebabkan pada ketika padi terbit Datuk Speaker, sawah kawasan ini mengalami cuaca hujan yang tinggi yang menyebabkan gangguan kepada pendebungaan padi dan seterusnya menyebabkan padi hampa. Akibat natijahnya setiap pesawah mengalami kerugian hasil purata sebanyak RM2,300.00 untuk tiap-tiap hektar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merupakan anak kepada pesawah padi. Di sawah padi Sawah Ring ini tempat saya membesar. Saya sangat memahami perasaan pesawah-pesawah ini walaupun mereka reda dengan hujan ini tetapi percayalah jauh di sudut hati mereka, jauh di benak pemikiran mereka sentiasa memikirkan hutang-hutang yang perlu dibayar, bagaimana cara nak melunaskan kos penanaman padi sebelumnya dan bagaimana pula nak mendapatkan modal bagi penanaman padi musim berikutnya. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada EXCO Pertanian, Pengarah Pertanian Negeri Johor dan Pegawai Pertanian Tangkak yang begitu berusaha bersungguh-sungguh membantu peningkatan hasil sawah padi ini dengan pengenalan benih bermutu, kaedah penanaman dan penjagaan menggunakan inovasi teknologi terkini. Walau bagaimanapun, pada hari ini di Dewan yang mulia ini saya dengan rendah diri merayu dan memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk pemberian bantuan ihsan secara One-Off kepada pesawah-pesawah yang kerugian ini. Sekurang-kurangnya dapat mereka menampung sebahagian kerugian terdahulu, sekurang-kurangnya dapat kita kembalikan senyuman di raut wajah pesawah-pesawah ini dan yang paling penting kita dapat menunjukkan kerajaan Johor ini benar-benar prihatin dan membela nasib rakyat pada ketika kesusahan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya seterusnya beranjak kepada Teras Ketiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial di bawah Strategi Pertama : Pembangunan Perumahan Rakyat. Saya mengalu-alukan hasrat dan sasaran kerajaan hari ini untuk membina 1,997 unit rumah untuk tahun 2023. Apatah lagi Tangkak telah terlibat dalam sasaran tersebut tetapi saya mohon supaya projek perumahan rakyat di Sagil, Bukit Gambir yang dahulunya dimajukan oleh salah sebuah GLC kerajaan negeri dapat diteruskan.

Di bawah Inisiatif Membasmi Kemiskinan, saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas peruntukan-peruntukan yang diberikan bagi mencapai sasaran sifar miskin, sifar miskin tegar menjelang 2025. Saya ingin menarik perhatian Dewan pada Yayasan PBT yang telah ditubuhkan hasil inisiatif kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU-14 yang lalu. Yayasan PBT berperanan membantu menjayakan hasrat kerajaan membasmi kemiskinan tegar di kawasan bandar. Yayasan ini juga hendaklah dan perlulah digerakkan secara bersama

dalam misi kerajaan untuk, agar usaha yang digembleng bersama dapat memberikan impak sewajarnya. Walau bagaimanapun Datuk Speaker, saya memohon kerajaan negeri akan dapat menyemak semula surat ikatan amanah dalam soal pelantikan dan penamatan Ahli Pemegang Amanah Yayasan-Yayasan tersebut. Hal ini disebabkan terdapat Ahli Pemegang Amanah daripada parti politik tertentu yang enggan melepaskan jawatan walaupun telah tewas dalam PRN terdahulu. Akhirnya, yayasan tersebut tidak dapat bergerak dan berfungsi sebagaimana yang disasarkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Keempat : Kemudahan dan Keperluan Asas. Saya mengucapkan jutaan terima kasih dengan peruntukan yang akan disalurkan untuk menaik taraf jalan dan jambatan Sungai Mati ke Sawah Ring, Tangkak. Saya juga memohon supaya kerajaan negeri dapat mencari jalan bagi menambah kemudahan-kemudahan lampu-lampu jalan di kawasan kampung yang gelap dan agak berbahaya kerana di dalam bajet yang dibentangkan keseluruhan, kesemuanya isu tentang lampu jalan ini hendak diletakkan di kawasan-kawasan bandar. Jadi bagaimana nasib luar bandar dan kampung-kampung seperti mana di Gambir. Jadi saya mohon supaya jalan tertentu perlu dicari untuk kita tambahkan lampu-lampu yang berada di kawasan kampung dan juga di kawasan desa.

Hasrat kerajaan juga untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Jadi saya mohon ini adalah satu hasrat yang sangat baik dan saya mohon supaya Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir yang kelihatannya telah siap pembinaannya agar dapat dioperasikan segera untuk membantu menjayakan hasrat kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Strategi Keempat, Teras Empat ini, saya mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor yang berperanan memantau semua fasiliti kesihatan sedia ada. Saya ingin memohon dan merayu kepada pihak kerajaan negeri agar Projek Menaik Taraf Klinik Kesihatan Bukit Gambir ke Type C di tapak yang baharu dapat disegerakan dengan mengambil semangat Menteri Kesihatan kita yang baharu juga datang dari Johor, saya berharap agar YB EXCO dapat membawakan isu ini dan menjadikannya sebagai priority untuk pertimbangan daripada Yang Berhormat Menteri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Teras Kelima iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar. Saya menyambut baik inisiatif kerajaan yang akan mengeluarkan, yang akan menyalurkan RM42 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran. Walau bagaimanapun, saya difahamkan Datuk Speaker, rupa-rupanya parit dan saliran ini ada pemilik masing-masing. Bukan semua parit dan saliran itu milik JPS, tetapi ada juga pemilik yang lain seperti milik PBT, JKR, Pejabat Daerah dan sebagainya. Saya mohon agar kesemua pemilik-pemilik parit dan saliran ini agar dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara tetap dan berkala. Ini bagi memastikan...

Timbalan Speaker

Gambir, sila gulung.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Baru empat minit.

Timbalan Speaker

Itu jam yang lain, saya ini jam saya.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Baik. Satu minit lagi, tinggal sikit, tinggal sikit. Ini bagi memastikan banjir-banjir kilat yang berlaku ini dapat kita atasi dengan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga peruntukan RM700,000.00 yang akan disalurkan bagi membeli pam-pam bergerak untuk mengatasi masalah banjir kilat. Walau bagaimanapun Datuk Speaker, peruntukan ini juga harus disusuli, disertai dengan kos perbelanjaan minyak untuk memastikan pam besar itu dapat beroperasi sepenuhnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata, akhir kalam bagi pihak penjawat awam di DUN Gambir, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan gaji. Mudah-mudahan hasil negeri bertambah baik, bertambah elok dan sebagaimana yang dinyatakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan menambahkan lagi bantuan khas ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir mohon menyokong. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Tahniah, terima kasih Gambir. Dari Pontian dia datang, sila YB Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam maju Johor, salam makmur bersama rakyat. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada saya pada sidang Dewan kali ini supaya saya dapat memberikan beberapa pandangan dan cadangan dan juga untuk saya menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah saya kepada beberapa perkara yang akan saya sebutkan ini.

Yang pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kepada barisan EXCO dan juga kepada barisan kepimpinan negeri atas pembentangan Bajet Belanjawan 2023 yang mana Belanjawan 2023 ini ternyata belanjawan tersebut adalah demi, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”. Belanjawan 2023 ini telah dibuat dengan mengambil kira daripada segenap, segala segenap pandangan dan telah mendengar suara hati 3.8 juta rakyat Johor ini. Jadi belanjawan Johor ini juga ternyata sentiasa seiring dan juga selari dengan asas ataupun dasarnya terbentuk kerajaan Barisan Nasional ketika Pilihan raya Negeri Johor yang lalu di bawah Ikhtiar Johor yang mana ianya diterjemahkan melalui 6 Teras Tunjang Utama Agenda Maju Johor bagi memastikan visi menjadikan Johor ini sebuah negeri maju dapat dicapai.

Yang kedua, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak ucap tahniah kepada pasukan bola sepak JDT Johor ini di bawah naungan Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Sebenarnya saya ni bukanlah peminat bola sepak tapi bila adanya pasukan JDT ini jadi pemilik bola sepaklah pula. Jadi kita ni sebagai rakyat Johor tak boleh nak nafikan bahawa di bawah naungan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor ini Baginda Tunku dapat menyatupadukan Bangsa Johor ini tak kira sama ada dari segi apa juga fahaman politiknya. Tak kira sama ada dari segi apa juga pegangan agamanya, kaumnya malah pun umurnya dapat disatupadukan di bawah bola sepak ini. Ini di mana Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor telah berjaya merevolusikan bola sepak Johor ini sehingga dapat mencipta bukan hanya sejarah Johor, tetapi sejarah Malaysia yang mana buat julung-julung kalinya pasukan yang dapat memenangi 4 Piala dalam satu musim. Jadi saya ni berbanggalah menjadi warganegara Malaysia, yang kad pengenalan bernombor ‘01’, yang mana bukan hanya Sultannya hebat lagi berjiwa rakyat, yang mana bukan hanya Sultannya hebat lagi berjiwa rakyat, malah Tunku Mahkota sentiasa dekat di hati rakyat. Raja tersohor, raja berdaulat, rasa bersyukur penuh bahagia, Raja Johor berjiwa rakyat, negeri makmur aman sentosa. (Dewan bertepuk).

Yang ketiganya saya nak ambil kesempatan nak ucapkan khas kepada mentor saya, iaitu Ketua Bahagian saya yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Ir. Hasni Haji Mohamad di atas kemenangan beliau di kerusi Parlimen Simpang Renggam, congratulation Sir. Dan yang keempat, saya juga nak ambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10 dan juga Yang Amat Berhormat Datuk Seri Zahid Hamidi yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dengan terbentuknya kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan ini, saya selaku rakyat Johor berharap agar Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan ini tidak menganaktirikan negeri Johor ini. Sebagaimana titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Sultan Johor ketika pembukaan sidang Dewan pada bulan 6 yang lepas, Baginda ada menggesa agar kerajaan persekutuan dapat memberikan peruntukan yang lebih kerajaan negeri Johor ini dan Baginda juga turut mengingatkan bahawa setiap tahun kerajaan persekutuan mengutip hasil daripada negeri Johor ini sebanyak hampir kepada RM13 bilion jumlahnya. Jadi antara perkara yang disentuh oleh Baginda Tuanku Sultan adalah berkaitan dengan penyelenggaraan dan baik pulih bagi Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Kompleks CIQ Sultan Iskandar dan Baginda juga turut menyeru agar kerajaan persekutuan segera menunaikan janji untuk menaik taraf Lebuh raya Utara – Selatan kepada 6 lorong, dan juga Lebuh raya Senai – Desaru menjadi 4 lorong.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker serta sidang Dewan sekalian, ada beberapa perkara saya nak sampaikan ataupun cadangkan dalam Dewan pada kali ini yang berkait rapat dengan Pembentangan Belanjawan 2023.

Yang pertamanya berkaitan dengan Teras Kedua di bawah pembangunan ekonomi bagi memperkasakan industri pelancongan. Sebagaimana semua sedia maklum, Pontian ini telah dimasukkan dalam perancangan kerajaan negeri untuk dijadikan sebagai Hab Kerang Negara. Jadi bagi merealisasikan perkara ini, kerajaan negeri juga telah memberikan beberapa inisiatif di dalam Belanjawan 2022 pada November tahun lepas. Jadi penghasilan kerang-kerangan ini boleh dianggap sebagai satu pendapatan laut yang unik. Kenapa saya katakan unik, kerana kerang ini dia bukan boleh ada di banyak tempat, dia hanya terdapat di kawasan-kawasan yang tertentu sahaja. Dan kerang ini juga dapat gelaran sebagai emas hitam oleh penduduk tempatan kerana kerang ini boleh mendapatkan pendapatan tambahan yang agak lumayan kepada mereka. Daripada proses menyauk kerang, kalau kerang kita ni tak panggil menjaring ya, kita panggil menyauk kerang. Daripada proses nak menyauk kerang, sehinggalah proses nak bersihkan kerang ini, ianya adalah merupakan proses yang jarang-jarang dapat kita lihat. Jadi proses penghasilan kerang ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai tarikan ilmu serta pengalaman baru kepada pelancong dan juga kepada pelajar-pelajar.

Oleh yang demikian, adalah eloknya, sekiranya kerajaan negeri mengambil ruang dan peluang di atas keunikan kerang-kerang ini supaya dapat dijadikan Pontian ini sebagai satu produk baru iaitu agro edutourism ataupun agro pelancongan yang baru. YB EXCO Pelancongan juga telah turun ke Pontian dan menyelusuri Sungai Pulai Sebatang dan telah pun diberikan penerangan daripada pengusaha tempatan berkenaan dengan cadangan-cadangan tarikan yang boleh dikomersialkan sebagai produk pelancongan di dalam kawasan Pulai Sebatang. Jadi saya nak mintalah YB EXCO Pelancongan masukkan Sungai Pulai Sebatang ini sebagai satu kawasan pelancongan yang baru dan masukkan juga hab kerang-kerangan di Pulai Sebatang ini sebagai satu produk agro pelancongan yang baru untuk kerajaan negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya berkaitan dengan berkaitan dengan kemudahan dan keperluan asas iaitu berkaitan dengan kemudahan lampu jalan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor umumkan ada peruntukan sebanyak RM19.9 juta untuk menaik taraf lampu jalan yang mana RM16.4 juta itu diberikan kepada 2 projek yang berada dalam kawasan bandar, baki RM3.5 juta itu di sepanjang 31 km jalan negeri-negeri. Dan kita lihat belanjawan ini tidak menyentuh jalan-jalan kampung yang kami-kami ni YB-YB dalam kawasan luar bandar ini agak tertinggal berkaitan dengan belanjawan bagi kemudahan lampu jalan ini. Jadi saya rasa adalah eloknya sekiranya belanjawan berkaitan dengan pemasalahan lampu jalan dapat dilihat balik dan cadangan saya sebagaimana yang saya bawa ketika sidang Dewan yang lepas, untuk mewujudkan cadangan program Pencahayaan Kasih Bangsa Johor ini dapat dibuat dengan memberikan peruntukan kepada

semua ADUN yang ada dalam negeri Johor ini. Peruntukan disalurkan kepada Pejabat Daerah supaya kita dapat pasanglah lampu tak kiralah sama ada lampu solar ataupun lampu yang sebelum ini kita pasang untuk mengelakkan pertikaian dari segi gelapnya jalan-jalan kampung dan juga kawasan-kawasan pedalaman.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya adalah berkaitan dengan Tabung Bencana. Tabung Bencana yang saya maksudkan ini adalah tabung yang berkaitan dengan Tabung Bencana Pertanian. Alhamdulillahlah dan tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang telah mewujudkan Tabung Bencana yang berkaitan dengan pertanian ini. Jadi bermaknanya sekiranya pengusaha-pengusaha agro makanan negeri Johor ini ada menghadapi masalah dari segi pengusahaan agro makanan yang musnah akibat bencana. Ada 2 badan yang kita boleh minta salurkan permohonan sekiranya terjejas akibat bencana.

Yang pertamanya adalah melalui kerajaan persekutuan di bawah Ministry of Agriculture and Food Industry ataupun MAFI.

Dan yang kedua, Boleh mohon dengan kerajaan negeri di bawah Tabung Bencana Pertanian. Tapi saya rasa, kalau kita nak menggalakkan agar Johor ini menjadi pengeluaran utama hasil negara sebagaimana Strategi Kelima di bawah Teras Pembangunan Ekonomi, elok sekiranya Tabung Bencana berkaitan dengan petani ini dapat dikaji semula kerana kalau MAFI ini dia merangkumi, meliputi bantuan yang melibatkan tanaman, ternakan, perikanan dan juga lain-lain. Tetapi kalau Tabung Bencana Negeri Johor ini di bawah pertanian, dia hanya merangkumi untuk skop tanaman makanan sahaja. Jadi, adalah perlu diperluaskan lagi skop bantuan bencana ini kepada bidang agro makanan yang lain. Yang keduanya, proses permohonan dan kelulusan juga perlu dikaji. Tempoh nak lulus satu permohonan itu kita kena tengok baliklah. Kadang-kadang mengambil masa yang terlalu lama walau pun sebenarnya memang ada KPI-KPI yang telah ditetapkan untuk meluluskan sesuatu permohonan.

Dan yang ketiganya, kuasa melulus sekiranya seseorang pengusaha itu memohon apa itu bantuan adalah lebih elok kalau kita berikan kuasa itu kepada Pengerusi Pertanian di peringkat daerah-daerah. Mungkin kita boleh hadkan di bawah RM10,000.00 boleh Pengerusi Pertanian Daerah luluskan dan ini juga sudah tentunya mengurangkan tempoh masa permohonan yang dimohon oleh pengusaha agro makanan terjejas.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya berkaitan dengan rumah mampu biaya iaitu rumah, semalam ketika YB EXCO menjawab soalan daripada YB Kukup, YB EXCO ada memaklumkan bahawa dekat Pontian ini ada 345 unit rumah mampu milik yang akan dibuat. Walaupun sebenarnya jumlah ini sikit. Kalau nak dibandingkan jumlah pemohon tapi sekurang-kurangnya lebih baik ada daripada tak ada. Tapi saya nak minta YB EXCO Perumahan tengok balik, sebab pada bulan Mac 2021, mantan Menteri Besar Johor pernah mengumumkan bahawa ada satu projek Rumah Mampu Biaya Johor, Taman Perbadanan Islam yang nak dibuat di Pontian. Jadi saya nak tanya apakah sebenarnya status perumahan Rumah Mampu Biaya Johor, Taman Perbadanan Islam ini? Kalau nak ikutkan jumlah rumah yang di bawah rumah mampu biaya ini adalah sebanyak 427 unit. Kos pembangunan Taman Perbadanan Islam Pontian ini akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan PIJ Holding akan bertindak sebagai agensi pelaksana serta pengurus projek.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya berkaitan dengan penyelenggaraan jalan-jalan kampung dan juga parit, tanah dan jalan-jalan kampung. Nampak macam isu kecil, tetapi di kawasan dia menjadi isu yang besar. Saya yakin rakan-rakan Ahli Yang Berhormat juga sering dapat aduan pasal rumput dekat bahu jalan kampung ni panjang, tidak dipotong, longkang sumbat, tidak dikorek dan sebagainya. Sekarang ni apa yang saya dimaklumkan kerja-kerja pembersihan dan juga pemotongan rumput ini dilaksanakan oleh pihak JPS. Kalau dulu-dulu katanya diberi kepada ketua kampung untuk laksanakan, jadi

saya rasa adalah elok sekiranya kita pulangkan semula kerja-kerja penyelenggaraan pemotongan rumput di bahu jalan kampung dan juga di longkang-longkang jalan kampung ini diserahkan balik kepada ketua kampung dan juga JKKK. Tapi walau bagaimanapun kena tengok baliklah dari segi skop kerjanya, terutamanya dari segi macam mana nak bayar sebab sebelum ini kalau bayar dekat ketua kampung tu jadi pertikaian. Jadi mungkin selepas ini kalau dikaji semula, kita buat bayaran melalui akaun JKKK.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, perkara yang keenam adalah berkaitan dengan tulisan jawi. Ini lagi sikit je, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Izinkan saya habiskan bahas saya ini sebelum sambung nanti pukul 2.30 ya, saya mohon ya. Seterusnya berkaitan dengan tulisan jawi. Saya nak cadang agar kerajaan Johor dapat memperkasakan tulisan jawi. Kalau sebut pasal sekolah agama Johorlah negeri perintis yang mempunyai sistem pengurusan sekolah agama, yang terbaik dan menjadi rujukan untuk negeri-negeri lain. Bila sebut aje tulisan jawi orang Melayu Johor ni, malulah kalau tak pandai baca jawi tapi nampaknya sekarang ni memang banyak yang merangkak-rangkak baca jawi terutamanya anak muda. Dan ada juga yang ramai yang tak boleh baca jawi. Jadi saya nak cadangkan supaya kerajaan Johor dapat memperkasakan tulisan jawi sebagaimana negeri Kelantan, Terengganu dan juga Pahang juga turut memperkasakan tulisan jawi di papan-papan tanda iklan dan juga di papan-papan tanda kedai.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker saya nak sentuh sikit isu berkaitan dengan elaun ADUN yang disebut oleh rakan-rakan daripada Barisan Nasional dan juga daripada rakan-rakan di blok pembangkang. Sepanjang amalan saya, pembahas daripada rakan-rakan Barisan Nasional ini bukan semata-mata membahaskan isu berkaitan elaun ADUN itu menjadi tajuk yang utama. Saya bacalah verbatim daripada YB Puteri Wangsa ya. YB Puteri Wangsa mengatakan verbatim ini berbunyi begini, “saya fikir daripada kita berbincang tentang kenaikan elaun ADUN sahaja, lebih elok kita berbincang tentang usaha meningkatkan peruntukan”. Daripada amatan saya, daripada rakan-rakan Barisan Nasional kita bukan membincangkan isu elaun itu menjadi topik utama yang kita nak bahaskan dalam Dewan ini pada kali ini. Rakan-rakan ADUN daripada Barisan Nasional membincangkan tentang bagaimana cara nak naikkan elaun ketua kampung, bincang, bagaimana nak naikkan pelancongan, bagaimana nak naikkan ekonomi negeri dan sebagainya. Jadi saya harap perkara ini tidaklah diputarbelitkan faktanya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Dan saya juga tak setuju dengan kenyataan YB Puteri Wangsa yang mana menyatakan bahawa dalam verbatim saya baca lagi ya. “Kerana elaun yang dapat ini kita sahaja”, saya tak setuju dengan kenyataan itu, mungkin kenyataan itu betul, kalau seseorang YB itulah YB yang berehat. Ini saya tak nak tujukan kepada blok pembangkang mahupun di peringkat barisan ADUN-ADUN Barisan Nasional, ini juga sebagai ingatan buat kita semua dan juga ingatan buat diri saya. Mungkin kenyataan itu betul kalau YB itu YB yang berehat. Kurang berkhidmat. Tapi sebagai YB yang betul-betul berkhidmat di kawasan, saya yakin sekiranya elaun ADUN ini dinaikkan sebagaimana firman Allah SWT, sedikit sebanyak ada sebenarnya rezeki orang lain dalam rezeki kita (Dewan bertepuk). Kalau tak nak naik elaun tak apa, kalau tak nak naik elaun tak apa. Tapi saya harap rakan-rakan pembangkang janganlah memutarbelitkan isu berkaitan dengan elaun ADUN ini. Akhir kata anak itik berenang-renang, ular membelit di pohon ara, kalau berpolitik biarlah matang, jangan dibelit putarkan kata. Pisang emas anak banyak, anak kumbang dalam gua, minta maaf banyak-banyak, andai ada YB-YB yang terasa. Sekian, Pulai Sebatang mohon menyokong, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang, Ahli-Ahli Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada 2.30 petang.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10. Perjuangan selama 24 tahun dalam suara menentang politik, kronism, rasuah dan fitnah telah diakhiri dengan kemenangan ini. Namun ini hanya permulaan, masih banyak tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan ini. Tahniah juga kepada YB Salahuddin, YB Lew Chin Tong dan YB Hasni Mohammad kerana telah menang bertanding sebagai Ahli Parlimen pada PRU 15 ini. Landskap politik tanah air kita telah berubah dan mencipta sejarah apabila gabungan politik Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS, GRS, Warisan dan parti lain telah bergabung untuk membentuk Kerajaan Perpaduan atas Titah Yang DiPertuan Agong. Kebuntuan politik diakhiri dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan negara. Saya percaya bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan kekal sehingga tamat tempoh pembubaran Parlimen tanpa sebarang kekecohan politik. Terutamanya di Johor, saya menginginkan setiap Wakil Rakyat akan bekerjasama dan menabur bakti terhadap Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang politik. Agenda utama kita adalah berkhidmat demi rakyat dan negara kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya ingin membangkitkan isu mengenai pembaharuan TVET dari segi kurikulum dan pengiktirafan pada peringkat negeri Johor. TVET ialah singkatan untuk Technical and Vokasional Education and Training atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. Secara asasnya TVET merangkumi pengetahuan dan kemahiran teknikal secara lebih tepat, TVET ialah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama kepada amalan industri. TVET melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang teknikal tertentu. Skop TVET adalah berdasarkan kepada standard pekerjaan yang diiktiraf dengan memberikan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran, psiko motor dan pendedahan kepada latihan industri. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan salah satu tunjang utama yang memainkan peranan signifikan dalam mentransformasikan Malaysia kepada negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini kerana pembangunan dan kemajuan negara masa kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi tetapi juga kepada yang berkemahiran tinggi. Secara kolektif, selain menjadi platform pembangunan ilmu pengetahuan dengan melahirkan graduan yang mempunyai potensi kemahiran kerja yang tinggi, TVET juga penting bagi meningkatkan bekalan modal insan tempatan berkemahiran melalui penyediaan pendidikan dan latihan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang teknikal dan vokasional yang mampu memenuhi tuntutan industri.

Sidang hadirin sekalian, kita sering diuar-uarkan mengenai inisiatif atau upacara para pemimpin berkaitan isu TVET. Bahkan kerajaan memperuntukkan sejumlah dana yang besar saban tahun dalam usaha mengarusperdanakan institusi TVET ini. Sebagai contohnya, RM29 juta melalui Belanjawan 2021 bagi melaksanakan program-program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Selain itu juga, kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan dalam Belanjawan 2022. Terbaru, kerajaan menyediakan sebanyak RM6.7 bilion di bawah 7 kementerian utama bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. Namun begitu, agak menyedihkan apabila lebih 4

abad Malaysia menyedari kepentingan TVET untuk negara. Namun, sehingga kini, ianya masih lagi menjadi stigma dalam kalangan masyarakat dan sering disalah anggap sebagai bidang yang menjadi pilihan terakhir dalam meneruskan pengajian. Penekanan pencapaian akademik berbanding perkembangan potensi dan nilai individu yang masih menjadi akar asas pendidikan negara kita dikatakan menjadi faktor utama kenapa ianya berlaku. Jika diamati, pendidikan berorientasikan akademik lebih berfokuskan kepada ilmu saintifik manakala TVET kepada latihan untuk pekerjaan tertentu. Namun, senario ini berbeza di kebanyakan negara maju yang menganggap TVET sebagai salah satu agenda utama pendidikan. Sebagai wakil anak muda di sidang Dewan yang mulia ini, saya mahu melihat kerajaan negeri Johor bukan sekadar menyumbang dana tanpa faham secara membumi tentang isu akar berkaitan TVET ini, sebaliknya lebih berstrategi dalam usaha memperkasakan TVET ini.

Ada 3 fokus utama yang harus ambil cakna oleh kerajaan negeri soal isu pemerkasaan TVET di negeri Johor.

Yang pertama adalah mempositifkan persepsi ibu bapa terhadap TVET. Kerajaan negeri perlu bijak dalam mengubah persepsi ibu bapa dan masyarakat berkaitan program pendidikan TVET ini. Pendaftaran Program TVET negara di peringkat sekolah menengah atas lebih rendah berbanding negara-negara luar seperti Finland, German, Australia. Kalau peringkat menengah atas ini merujuk kepada umur 16 tahun ke atas. Kalau di Finland 60% pelajar mereka memasuki TVET pada peringkat umur yang sama. German dan Australia pula 80% tetapi kita di Malaysia 7.2% sahaja. Sebab walaupun ruang itu ada tetapi pelajar pada peringkat menengah atas ini mereka tidak boleh masuk. Jadi, kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar adalah amat penting. Jadi, kerajaan negeri Johor perlu menjadi perintis dalam menarik keminatan anak muda Johor untuk menyertai program pendidikan TVET. Sebagai contohnya, pepatah ada mengatakan, pimpinan adalah melalui tauladan. Promosi yang paling berkesan adalah dengan menjadi diri sendiri. Sebagai contoh, para pemimpin sendiri perlu berani menghantar anak atau ahli keluarga mereka yang berminat untuk memasuki bidang TVET berbanding menghabiskan wang menghantar anak belajar di luar negara semata-mata.

Selain itu, para pemimpin dan kerajaan harus berani menjenamakan TVET sebagai aliran yang seiring dengan aliran akademik yang lain. Institusi TVET pula perlu menyediakan peluang kepada para pelajar mengembangkan potensi dengan kepelbagaian aktiviti yang boleh menyerlahkan bakat dan seterusnya boleh menguasai bidang yang diikuti. Kerajaan negeri serta agensi kerajaan perlu giat aktif dalam proses mempromosikan program pendidikan TVET di setiap daerah di negeri Johor melalui saluran-saluran yang sedia ada terutamanya di sekolah menengah. Perkara seumpama ini secara tidak langsung akan memberikan gambaran yang positif kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke aliran TVET.

Fokus yang kedua adalah penyediaan tenaga pengajar TVET yang berimpak kepada pelajar. Di institusi TVET negara kita kebanyakan pengajar institusi TVET ini bukan dari kalangan pengajar yang berlatar belakang TVET yang menyebabkan ilmu atau kemahiran sebagaimana yang dikehendaki industri tidak dapat dipenuhi. Selain mempunyai pengetahuan tentang corak reformasi industri semasa, para pendidik juga perlu sentiasa diberi pendedahan melalui kursus-kursus pendidikan supaya mereka lebih peka dan mengadaptasi pada perubahan lebih-lebih lagi apabila kita giat menghadapi revolusi 4.0. Di samping itu, para pengajar dapat mempersiapkan diri dengan perubahan-perubahan dan pembaharuan yang bakal berlaku dalam silibus. Ini adalah kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada pelajar, mereka juga bertanggungjawab mengembangkan minat dan mengembangkan bakat dan kebolehan pelajar.

Fokus yang ketiga adalah memperhalusi silibus dan kurikulum TVET di institusi TVET. Kurikulum TVET perlu memberikan tumpuan kepada pemikiran kritis dan kreatif sejajar dengan kebolehan pelajar. Kaedah pembelajaran berasaskan projek melalui TVET boleh meningkatkan kualiti dan daya tarikan kepada industri yang kebanyakan programnya direka bentuk berasaskan kepada sistem sebenar yang wujud di industri. Kurikulum yang berpaksikan ujian peperiksaan sepatutnya digantikan dengan kurikulum berorientasikan industri. Peranan juga perlu dimainkan oleh industri agar sama-sama terlibat dalam penghasilan tenaga kerja negara. Pemantapan atau pemerkasaan TVET dalam kalangan graduan teknikal ini adalah satu perjalanan yang berterusan. Bukan seperti menuju sebuah destinasi yang berpenghujung, kita sebagai Wakil Rakyat harus terus menuntut agar perjuangan TVET ini tidaklah hangat-hangat tahi ayam semata-mata. Jika bakat dan kemahiran anak muda tidak dilatih, saya bimbang peluang pekerjaan yang ada di negara ini akan hanya diisi oleh pekerja asing. Lagi parah jika isu TVET ini hanya menjadi janji manis untuk merebut kerusi empuk para Yang Berhormat semata-mata. Ayuh! Sama-sama kita tuntut perjuangan TVET ini agar dapat diteruskan bermula di negeri Johor pada masa yang akan datang. Benarlah imaginasi tanpa realisasi hanyalah halusinasi.

Ahli Dewan yang saya hormati, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membangkitkan isu soal banjir yang kerap berlaku di DUN Bukit Batu dan saya percaya majoriti daerah yang lain juga mengalami masalah yang sama seperti di DUN Bukit Batu. Kejadian banjir ini sudah menjadi salah satu fenomena biasa di negeri Johor. Namun, kita tidak boleh membiarkan isu ini berlaku secara berterusan selama-lamanya. Tidak menafikan juga apabila kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM71 juta melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pihak Berkuasa Tempatan disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awal banjir. Seterusnya, sebanyak RM42 juta diperuntukkan kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran. Di samping itu, RM700,000.00 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir.

Ini adalah satu pendekatan yang amat baik untuk mengekang isu banjir berlaku. Walau bagaimanapun, saya ingin memberikan cadangan kepada EXCO Perumahan Pihak Berkuasa Tempatan agar setiap ADUN negeri Johor perlu diberi pendedahan bagaimana dana yang diperuntukkan akan diguna pakai di kawasan DUN masing-masing? Ini kerana sebagai wakil kawasan DUN, kami juga lebih kenal kawasan-kawasan yang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran. ADUN kawasan masing-masing tanpa mengira latar belakang politik perlu dilantik dan berfungsi sebagai pemantau kerja-kerja yang bakal dilakukan oleh JPS dan PBT. Setiap mesyuarat yang diadakan oleh JPS dan PBT daerah perlu dimaklumkan dan dihadiri oleh ADUN kawasan masing-masing. Ini kerana, Wakil Rakyatlah yang akan menghadap dengan rakyat setiap hari dan apabila cadangan ini diterima pakai, ia akan memudahkan lagi untuk kami menerangkan kepada pengundi-pengundi dan rakyat-rakyat serta dengan pihak berkuasa kami boleh juga berkongsi pendapat dan isu akar umbi mengenai masalah banjir yang mereka hadapi.

Selain itu, lawatan tapak ke kawasan banjir atau bencana lain yang dijalankan oleh Pejabat Daerah ataupun Pihak Berkuasa Tempatan juga harus melibatkan Wakil Rakyat di kawasan masing-masing supaya suara dan isu rakyat dapat didengar dan diambil tindakan oleh agensi-agensi yang berkaitan.

Sidang yang saya hormati sekalian, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Projek Rumah Mampu Milik, Rumah Mampu Biaya, lot bumiputera dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah antara projek perumahan yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Johor di mana ia diperkenalkan supaya rakyat berpendapatan sederhana M40 dan rendah B40 dapat memiliki rumah sendiri. Walaupun inisiatif ini memberikan gambaran bahawa rancangan

perumahan mampu milik adalah bernas mengikut keperluan semasa, terdapat beberapa isu yang tidak diendahkan oleh pengubah polisi di peringkat negeri dan persekutuan. Secara tidak langsung keikhlasan polisi ini menjadi tanda soal dari segi pelaksanaannya. Pemaju perumahan berhutang sebanyak 153,712 unit rumah mampu milik yang gagal disiapkan mengikut perjanjian dengan kerajaan Johor sejak 25 tahun yang lalu. Jumlah itu berdasarkan data kelulusan kebenaran merancang pelan susun atur di semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri, Yang Berhormat EXCO Dato’ Mohd Jafni sendiri dalam satu kenyataan media. Jadi, kerajaan negeri perlu bertindak pantas dalam mengenal pasti punca kesilapan ini berlaku serta perlu memberikan penekanan khas dalam menangani isu ini.

Masalah utama masyarakat Johor adalah jumlah pendapatan kebanyakan isi rumah yang tidak selaras dengan keperluan ekonomi semasa. Kajian menyatakan bahawa tekanan kemampuan perumahan berpunca daripada keadaan yang memaksa individu berbelanja lebih daripada 30% pendapatnya sebagai bayaran ansuran rumah. Jumlah ini tidak lagi mengambil kira kos-kos lain seperti kos penyelenggaraan, pembaikan dan sebagainya. Insurans rumah, Mortgage Reducing Term Assurance, MRTA pula mesti diwajibkan ke atas semua rumah yang dijual sebagai pelindungan jika pembeli kehilangan punca pendapatan untuk bayar ansuran rumah.

Langkah kedua adalah tubuhkan Amanah yang bukan bermotifkan keuntungan untuk bekalkan perumahan B40 ataupun M40. Kita perlu menegakkan bahawa penubuhan amanah yang bukan bermotifkan keuntungan adalah penting untuk membekalkan perumahan kepada golongan B40 ataupun M40. Amanah ini akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti keperluan perumahan rakyat mengelola permintaan dan membina rumah untuk rakyat dengan dana kerajaan. Rumah yang dibina tidak digunakan untuk permodalan keuntungan tetapi untuk di isi keperluan perumahan rakyat. Rumah tersebut tidak boleh dijual kepada pasaran dan jika perlu dijual balik dengan harga asal kepada amanah untuk dibekalkan kepada mereka yang memerlukannya. Spekulasi harga rumah juga perlu dikawal. Jika gagal dijual balik, maka perlu diwujudkan perundangan yang membolehkan kerajaan mengambil alih rumah tersebut agar boleh diperuntukkan kepada pemohon B40 yang seterusnya.

Di DUN Bukit Batu juga ramai pengundi terutamanya anak-anak muda datang ke pusat khidmat saya untuk memohon dalam inisiatif Rumah Mampu Milik Johor dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberikan cadangan saya kepada bagi membina rumah flat PPR di DUN Bukit Batu, seperti di Taman Puteri dan Ulu Choh kerana permintaan tinggi dalam kalangan pengundi di sana. Saya mewakili suara rakyat DUN Bukit Batu supaya pembinaan flat PPR di sana dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang akan datang.

Mengikut statistik yang sedia ada di DUN Bukit Batu, kami mempunyai lebih kurang 46,000 pemilik dan majoriti anak muda di DUN Bukit Batu mahukan pembinaan flat PPR yang baru di kawasan DUN Bukit Batu. Ini kerana pada masa kini di DUN Bukit Batu dan Parlimen Kulai sekali kami tiada rumah flat PPR lagi di buka. Saya mahu isu ini diberikan penekanan khas kerana pemilikan rumah dalam kalangan anak muda sangat diperlukan dan rumah biasa yang dijual tidak mampu dibeli oleh kerana harga rumah yang melambung tinggi. Jika kerajaan negeri berhasrat untuk membina rumah flat PPR di DUN Bukit Batu ini kerana akan memberikan kesan positif dari aspek pemilikan rumah kepada anak muda yang berada dalam kategori B40 dan M40. Saya juga maklum bahawa pelan.

Timbalan Speaker

Sila gulung Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Memerlukan penelitian, ia bukan tidak bukan dilakukan secara over night tetapi kerajaan negeri perlu menunjukkan komitmen tinggi dalam proses penyelesaian isu rumit ini yang menjadi persoalan majoriti Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga EXCO-EXCO yang sanggup menjawab soalan saya. Saya haraplah Dewan yang mulia ini pada peringkat DUN akan maju bersama. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Bukit Batu. Dipersilakan Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dan hadirin di Dewan yang mulia ini.

Pertamanya, saya Tanjung Surat ingin terlebih dahulu sebagai Bangsa Johor, rakyat Johor, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Al-marhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Hari Ulang tahun Keputeraan Duli yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2022 yang lepas. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT dengan inayahNya semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, khalifah Islam pertama pernah menyebut, “wahai manusia, aku dilantik memerintah kamu, aku bukanlah orang yang paling layak daripada kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku, jika aku menyeleweng, maka perbetullah aku. Benar itu amanah, bohong itu khianat.” Suka saya ingatkan kepada semua pemimpin ahli, politik dan semua yang ada di Dewan yang mulia ini, PRU 15 telah pun berlalu, kerajaan juga telah terbentuk. Hari ini cukuplah dengan cakap-cakap politik, kita terus fokus dengan pembangunan kesejahteraan rakyat di negeri dan negara tercinta ini.

Saya turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 10 dan juga tahniah kepada semua ahli jemaah menteri yang telah dilantik. Semoga dapat menjalankan tugas dengan baik terutamanya menteri-menteri dari kawasan parlimen di negeri Johor. Tahniah juga kepada YB Ahli Parlimen dari kawasan saya iaitu YB Datuk Seri Azalina Othman Said yang telah dilantik sebagai Menteri Undang-undang Dan Reformasi Institusi. Semoga kertas siasatan Pulau Batu Puteh dapat dibuka semula secepat mungkin demi mengembalikan maruah dan kedaulatan negeri Johor, lebih-lebih lagi Pulau Batu Puteh ini terletaknya sangat dekat di kawasan DUN Tanjung Surat.

YB Datuk Timbalan Speaker, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor tahun 2023. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah berjaya membentangkan bajet 2023 dengan baik sekali. Saya kira ini kali pertama Yang Amat Berhormat Menteri Besar membentang bajet di bawah kerajaan yang baru dengan tema “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat.” Saya yakin bajet ini mampu untuk memartabatkan pertumbuhan ekonomi Johor yang gemilang. Alhamdulillah setelah dua tahun berturut-turut, iaitu bajet 2021 dan bajet 2022 merekodkan belanjawan defisit. Kali ini bajet 2023 dengan unjuran pendapatan sebanyak RM1.734 bilion dan perbelanjaan sebanyak RM1.731 bilion, Insya-Allah bajet 2023 ini akan menjadi bajet lebihan iaitu sebanyak RM2.44 juta. Seperti semua sedia maklum, negeri Johor telah mencapai pelbagai kejayaan dari segi ekonomi, seperti pelaburan, nilai dagangan, kadar guna tenaga, dalam

bidang sukan dan lain-lain lagi. Tidak perlu dinafikan salah satu faktor utama penyumbang kepada kejayaan ini adalah perlunya sebuah kerajaan dan politik yang stabil.

Rentetan daripada terbinanya sebuah kerajaan yang stabil yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, pelbagai inisiatif dan gerak kerja proaktif telah dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri tidak mengambil masa yang lama untuk terus mengumumkan pakej bantuan Bangsa Johor yang bernilai RM144.38 juta yang telah memberi manfaat kepada 3.69 juta Bangsa Johor. Kerajaan juga terus memperkasa negeri Johor dari segenap aspek. Hasilnya, Johor mencatat pelaburan paling tinggi dalam negara bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, iaitu sebanyak RM60.9 bilion, sekali gus menjadi pelaburan yang tertinggi pernah dicatat oleh negeri ini. Selain itu, kadar pengangguran juga telah mencatat penurunan daripada 4.0% pada suku tahun ketiga 2021 kepada hanya 2.5% pada tahun ini. Keadaan ini juga merupakan yang terendah berbanding negeri-negeri lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, hidangan dimasak si anak dara, berbilang jenis berbagai rasa, belia menjadi harapan negara, meneruskan kesinambungan warisan bangsa. Saya tidak mahu bercakap panjang mengenai statistik-statistik terlibat. Sebagai Ahli Dewan yang masih belia, saya sudah tentu memberi fokus kepada isu-isu berkaitan pembangunan belia dan orang muda Johor. Seperti saya tekankan sebelum-sebelum ini, orang muda Johor merupakan golongan muda yang paling bertuah di Malaysia kerana orang muda Johor dinaungi sendiri oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Dibawah bajet 2023 ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menggariskan lima strategi dan 28 inisiatif untuk memastikan pembangunan orang muda Johor yang gemilang. Hampir separuh daripada populasi penduduk negeri ini golongan muda atau belia iaitu 45.1% daripada keseluruhan lebih 4 juta penduduk di negeri Johor.

Salah satu cabang utama pekerjaan golongan belia ialah usahawan. Jadi saya ingin menyentuh beberapa perkara mengenai pemerkasaan usahawan dalam kalangan belia atau orang muda Johor. Antara keluhan-keluhan yang saya kerap terima daripada belia-belia di tempat saya ialah kesukaran mereka mendapatkan bantuan-bantuan perniagaan yang diumumkan oleh kerajaan, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Sehubungan itu, saya menyambut baik hasrat kerajaan negeri memperkasa Pusat Data Usahawan Johor (PADU) yang mana usahawan-usahawan di negeri ini, terutama usahawan belia perlu mendaftar menerusi Sistem Pusat Data Usahawan Johor yang disediakan oleh Perbadanan Usahawan Johor bagi memudahkan mereka menerima bantuan yang sewajarnya. Saya mohon agar lebih banyak usaha-usaha proaktif digerakkan di kawasan-kawasan luar bandar seperti di Kawasan Tanjung Surat kerana di tempat saya ramai usahawan belia sama ada lelaki mahupun wanita yang mula berniaga dan mengharapkan perkara-perkara ini dapat diteruskan di kawasan luar bandar.

Saya juga ingin bertanya setakat ini, berapakah usahawan yang telah mendaftar dengan sistem PADU dan daripada jumlah tersebut, berapakah jumlah usahawan dalam kalangan belia? Selain itu, boleh dikatakan antara masalah terbesar di kalangan belia adalah kekurangan peluang pekerjaan. Dalam hal ini kita perlu melihat isu-isu seperti over education, yang mana terdapat graduan kejuruteraan, graduan yang memiliki PhD dan Master tetapi bekerja dalam ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan yang dimiliki oleh graduan tersebut. Rentetan daripada itu, wujudlah pula isu mismatch, yakni tidak sepadan yang semakin berleluasa di kalangan mereka apabila yang akhirnya membawa kepada kadar pemberhentian kerja dan kadar lompat kerja atau job hope yang tinggi. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri haruslah memberi fokus kepada perkara-perkara ini.

Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan negeri memberi tumpuan kepada bidang-bidang pekerjaan masa hadapan, atau bidang pekerjaan yang berkait rapat dengan revolusi industri 4.0 atau IR 4.0. menurut laporan Future Of Job Survey, World Economy Forum 2020.

Pekerjaan-pekerjaan seperti kerana kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit tidak lagi akan wujud, akan digantikan dengan pekerjaan terbaharu di pasaran kerja dunia seperti Robotic Vehicle Intelligence, AI Scientist dan Transformasi Digital. Dalam pengumuman bajet 2023, saya tertarik dengan inisiatif yang ke enam iaitu program yang Dron Genius yang akan menyediakan peruntukan sebanyak RM4000 bagi memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah atau mempelajari asas dron dalam usaha melahirkan lebih ramai IT, pakar digital, pakar robotik dalam kalangan orang muda Johor. Soalan saya, bagaimanakah mekanisme ini, pelaksanaan inisiatif ini dan apakah strategi-strategi untuk memupuk minat belia luar bandar yang berkelayakan untuk menceburi bidang digital ini?

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin menyentuh sedikit perkara berkaitan pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, TVET dalam mendepani cabaran revolusi industri 4.0. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang mengambil berat tentang pembangunan TVET di negeri Johor. Antara perkara wajib yang saya akan cakap bila berbahas, sudah semestinya isu berkaitan dengan projek RAPID Pengerang, berkaitan di kawasan DUN Tanjung Surat. Seperti biasa setiap inisiatif dari kerajaan negeri saya akan tekankan dan wajibkan supaya keutamaan diberikan kepada anak tempatan di negeri Johor ini. Saya harap dengan kewujudan hab Skill Johor dengan kos pembinaannya sebanyak RM107 juta akan dapat membantu melahirkan ramai lagi anak tempatan yang mampu menjadi tenaga kerja utama di Rapid Pengerang.

Seperti kita semua tahu, Johor telah menerima pelaburan besar tahun ini iaitu kira-kira RM60.9 bilion, namun adakah kita sudah bersedia dari segi aspek tenaga mahir untuk melengkapi keperluan pekerjaan yang bakal masuk ini. Kita perlu sama-sama memastikan negeri Johor mampu menjadi sumber utama tenaga mahir, lebih-lebih lagi dalam bidang minyak dan gas kerana projek terbesar minyak dan gas ini berada di dalam negeri Johor. Dalam hal ini kerajaan juga perlu memperkasa untuk lebih agresif dalam menyediakan sumber tenaga kerja berteknologi tinggi di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara menunjukkan bahawa lebih 34,000 kediaman tidak terjual sejak dibina bernilai RM21.7 bilion dicatat pada separuh pertama 2022 dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi dengan merekodkan lebih 6,000 unit overhang bernilai RM4.7 bilion. Saya percaya kerajaan negeri bersama kerajaan pusat sentiasa berusaha memastikan lebih banyak perumahan mampu milik ditawarkan dan memastikan hasrat 1 keluarga 1 rumah dapat realisasikan. Saya juga ingin memuji dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui YPJ Holding yang akan menyempurnakan pembangunan 300 unit Rumah Mampu Milik di bawah Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Taman YPJ Pulai, dalam kawasan DUN Tanjung Surat. Hal ini sememangnya akan memudahkan pegawai-pegawai kerajaan yang sememangnya sukar mencari rumah sewa di kawasan saya kerana purata harga sewaan ialah lebih daripada RM1,000 ke atas. Selain itu, majoriti rakyat di kawasan saya merupakan golongan yang bekerja sendiri yang tiada pendapatan tetap dan tiada slip gaji. Jadi salah satu cara terbaik untuk mereka memperolehi kelayakan untuk mendapatkan pinjaman perumahan ialah melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan iaitu SJKP. Jadi, saya juga ingin bertanya adakah terdapat siri roadshow untuk menjejaki golongan-golongan ini? Selain itu setakat ini berapakah penerima manfaat skim? Dan, apakah bentuk promosi yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk meningkatkan kesedaran rakyat Johor tentang kewujudan skim ini terutama di kawasan kampung di luar bandar?

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pendidikan Islam negeri Johor telah bermula sejak 1918 lagi. Kini, ianya mencecah lebih 100 tahun. Bermulanya dari sekolah al-qur’an, sekolah petang, kini telah wujudnya Sekolah Agama Kerajaan Johor. Johor merupakan salah sebuah pelopor institusi sekolah agama Islam di Malaysia. Alhamdulillah, semakin lama semakin baik perkembangan sekolah-sekolah ini termasuklah dari segi aspek infrastrukturnya. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah

mengumumkan bahawa kerajaan negeri Johor di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor akan memperuntukkan sebanyak RM94 juta bagi menyelenggara dan baik pulih bangunan, peralatan dan perabot Sekolah-sekolah Agama di seluruh negeri Johor. Saya harap dah tiada lagi aduan dan keluhan seperti meja dan kerusi sudah bergoyang, bumbung bocor, surau sudah terlalu usang dan lain-lain lagi keluhan di dalam Sekolah Agama Negeri Johor.

Sebelum saya masuk ke isu terakhir, saya amat berharap agar kerajaan negeri ini tidak melupakan satu golongan yang amat, saya anggap sebagai tulang belakang merangkap frontliner kepada masyarakat negeri Johor iaitu Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat. Mereka bekerja siang dan malam tanpa mengira masa, setiap isu pasti mereka yang akan ke hadapan dahulu. Dari sekecil-kecil isu sehinggalah ke isu-isu yang besar. Ketua Kampung jugalah yang akan menjadi mangsa kecaman dan cacian sekiranya terdapat ketidakpuasan hati atau salah faham. Mereka hanya dibayar elaun RM900 sebulan. Saya mohon agar kerajaan negeri mengkaji semula elaun Ketua Kampung dan menambah baik kelebihan-kelebihan kepada Ketua Kampung.

Akhir sekali, saya ingin menyentuh sikit isu, Johor Selamat. Kawasan Tanjung Surat merupakan kawasan pintu masuk utama sempadan. Saban tahun banyak siri penyeludupan dan pemerdagangan manusia berlaku. Keadaan ini berlaku secara tidak langsung akan membawa kesan buruk kepada imej dan ekonomi negeri kita. Keadaan ini juga mewujudkan situasi bahaya dan tidak sihat kepada remaja-remaja di kawasan ini kerana ada di antara mereka yang telah terjebak dengan aktiviti haram ini dan mereka ini ditawarkan dengan sejumlah wang yang sangat tinggi dan dijadikan sebagai runner untuk meng, meng.. apa, mengedarkan benda-benda haram ke negara jiran. Jadi saya mengharapkan satu perkara ini diharap kerajaan negeri Johor dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana anak-anak muda terutama di kawasan saya ini telah ramai terjebak dengan aktiviti haram ini dan juga telah tertangkap di negara jiran. Justeru, saya berharap agar kerajaan dapat melipatgandakan usaha di kawasan saya terutamanya di kawasan perairan dan juga pintu masuk. Jadi, Yang Berhormat Timbalan Speaker saya mengakhiri ucapan saya hari ini, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya menyokong Belanjawan 2023.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tanjung Surat. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Timbalan Speaker. Salam Sejahtera Salam Perpaduan. Senai amat bersyukur diberi kesempatan untuk berbahas berkenaan Belanjawan 2023 di Dewan yang mulia ini. Pertama kali, Senai ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Kejayaan ini adalah keempat buat JDT yang sebelum ini telah menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super bagi menamatkan musim ini dengan kejayaan gemilang. Saya turut ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menteri-menteri Kerajaan Perpaduan yang mengangkat sumpah pada 3 Disember yang lalu.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan menjadi jalan penyelesaian dalam memecah kebuntuan politik negara yang melanda pada masa ini. Senai berharap perhubungan di antara kerajaan negeri dan pembangkang Dewan Negeri Johor dapat dieratkan lagi supaya ADUN-ADUN Pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam pembangunan negeri pada masa yang akan datang. Kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan akan membolehkan Johor mendapat lebih banyak peruntukan daripada

kerajaan persekutuan. Saya ingin merakamkan terima kasih atas usaha Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2023 bertema “Maju Johor, Makmur Bersama Rakyat” dan mengumumkan pelbagai inisiatif yang telah dirancang untuk pelaksanaan pada tahun depan yang tidak dapat dinafikan pemulihan ekonomi perlu menjadi fokus utama pada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri setelah negara pandemik dilanda COVID-19 selama 3 tahun. Dalam senario ini, Senai berharap cuti-cuti khas, peristiwa boleh dikurangkan buat masa ini supaya kita dapat memberi keutamaan kepada aktiviti-aktiviti ekonomi. Cuti-cuti khas, peristiwa telah diumumkan sempena kejayaan pasukan JDT menjuarai Piala FA Malaysia 2022 pada 11 September yang lalu. Seterusnya, diumumkan sempena kejayaan JDT menjuarai Liga Super 2022 dan pencapaian cemerlang Johor dalam Kejohanan Sukan pada 2022 pada 16 Oktober yang lalu. Dan juga JDT mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia diumumkan 27 November 2022 sebagai cuti peristiwa. Selain itu, 28 November 2022 diumumkan sebagai cuti peristiwa bagi meraikan kejayaan penubuhan Kerajaan Perpaduan. Cuti-cuti khas, peristiwa yang diumumkan sedikit sebanyak mengganggu urusan dan perkara mustahak di sektor sama ada kerajaan mahu pun swasta. Majikan bukan sahaja terpaksa mengalami pengurangan produktiviti dan juga penambahan kos operasi. Tetapi juga menghadapi rancangan kerja yang tergendala. Selain itu, tentunya pihak sekolah juga merancang pelbagai program ataupun peperiksaan mengikut takwim tahunan. Pesakit yang sudah mendapatkan temu janji di hospital dan sebagainya, jadi apabila cuti diberikan secara mengejut telah memberi kesulitan kepada golongan berkaitan.

Senai bukan ingin mempertikaikan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (Akta Hari Kelepasan Am) 1951 iaitu Akta 639, hanya Senai berpendapat bahawa sebelum mengumumkan cuti peristiwa sila mempertimbangkan impak negatif terhadap pemulihan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Senai ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar kerana telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM71 juta peruntukan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta PBT, Pihak Berkuasa Tempatan disediakan bagi pengurusan banjir dan saliran. Sudah 3 kali berturut-turut dalam tempoh setahun, banjir teruk telah berlaku di Taman Aman, Senai iaitu pada 4 September 2021 dan 20 Ogos 2022 dan terkini pada 16 November 2022. Bayangkan keluhan penduduk-penduduk di situ yang terpaksa mengalami kerugian besar apabila berlaku kemusnahan serta kerosakan harta benda mereka setiap kali apabila berlaku banjir. Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar telah menjalankan lawatan ke Kulai pada September yang lepas dan telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM1 juta untuk menaik taraf aspek pembetungan di Kampung Jaya Sepakat. Senai ingin tahu bila projek yang dijanjikan itu akan dilaksanakan? Selain daripada memberi peruntukan kerajaan untuk pengurusan dan menaik taraf sistem saliran, Senai berpendapat bahawa projek-projek perumahan baru juga perlu dipantau dari Pelan Pembangunan Sistem Saliran dan Parit Monsun begitu juga kerja tanah projek yagn dijalankan dari semasa ke semasa. Jika kerajaan PBT mendapati antara punca banjir adalah disebabkan oleh pemaju-pemaju yang tidak mematuhi pelan pembangunan, maka tindakan tegas perlu diambil oleh pihak kerajaan atau penguatkuasaan. Senai juga ingin mewakili mangsa-mangsa banjir Taman Aman, Senai untuk menuntut pampasan yang setimpal serta munasabah dengan kerugian yang mereka alami dalam 3 kali banjir ini. Senai difahamkan, tidak semua penduduk yang dilanda banjir ini telah menerima wang sumbangan tunai daripada Yayasan Sejahtera Kulai pada kejadian banjir yang berlaku pada tahun lalu dan ini dilihat tidak adil serta layanan berat sebelah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam pembentangan belanjawan, Datuk Menteri Besar di bawah Teras Keempat ada menyebut berkenaan inisiatif membina menaiktaraf dan penyelenggaraan kemudahan jalan dan jambatan sebanyak RM691.45 juta daripada peruntukan MARRIS dan peruntukan langsung daripada PBT akan digunakan bagi menyelenggara dalam sistem perparitan lampu dan perabot jalan. Senai sentiasa mendapat

aduan tentang kerosakan jalan yang membahayakan pengguna jalan raya, longkang tersebut kerana kurang diselenggara. Longkang rosak dan berlaku runtuh, tetapi lama untuk dibaiki. Jika kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang amat besar untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan, Senai berharap prestasi konsesi syarikat yang mendapat projek-projek ini perlu sentiasa dipantau supaya aduan dapat diatasi dengan lebih efisien. Salah satu contoh aduan adalah tanah runtuh parit lorong belakang yang berlaku di Jalan Panchasila, Taman Panchasila Saleng pada pada 7 Mac 2022. Pelbagai isu timbul berikutan masalah tersebut seperti lorong lori sampah tidak dapat masuk untuk kutipan sampah, air longkang bertakung dan berbau. Selain para penduduk turut khuatir struktur rumah mereka terjejas jika retakan terus berlaku. Aduan telah saya ajukan kepada PBT tetapi kerja-kerja baik pulih barulah dimulakan oleh syarikat konsesi Safwa Global Venture pada 2 Oktober 2022 setelah 7 bulan menunggu. Bagaimanapun kejadian tanah runtuh yang serius telah berlaku dan melibatkan dinding belakang tiga buah rumah pada hari sama semasa kerja-kerja baik pulih dilaksanakan. Sampai sekarang walaupun dinding belakang siap dibaiki, jalan pun sudah ditar, aduan tanah runtuh, parit masih belum diselesaikan lagi.

Selain itu, aduan kerosakan jalan di bawah persimpangan bertingkat Senai telah menjadi isu viral di sosial media. Pada 24 Oktober 2022, Datuk Menteri Besar dan Datuk EXCO Jafni telah turun padang bersama wakil konsesi Selia Selenggara Selatan untuk membincang penyelesaian isu ini. Amat dikesali kerosakan jalan ini masih berulang lagi sehingga sekarang. Bukan itu sahaja, masalah kerosakan penutup longkang di tengah jalan di depan Taman Antah Senai, Jalan Seelong J105 telah lama berlarutan sejak bulan Mac tahun ini. Keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terancam kerana jalan tersebut mempunyai aliran trafik yang tinggi. Apabila Senai bertanya, status aduan kepada pihak JKR mereka hanya memaklumkan kerja baik pulih sedang dilaksanakan oleh syarikat konsesi TETO.

Justeru itu, Senai ingin bertanya apakah prosedur operasi standard atau SOP pengurusan pengendalian aduan awam yang ditetapkan kepada konsesi syarikat? Dan apa tindakan akan diambil jika aduan tidak dapat di selesaikan dalam tempoh masa yang ditentukan? Senai berharap prestasi kerja konsesi syarikat ini dapat dipantau secara sistematik dan berkesan. Pada masa yang sama ia dapat meringankan beban kerja Datuk Menteri Besar, EXCO-EXCO dan semua Wakil Rakyat di Dewan ini supaya kita dapat lebih fokus dalam urusan peringkat negeri dan negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah kesesakan trafik jalan di Jalan Seelong-Ulu Tebrau dan Jalan Lapangan Terbang Senai semakin kritikal. Ketiga, keadaan ini di sebabkan pembangunan di kawasan perindustrian Senai dan Senai Airport City (SAC) dan kawasan berhampiran semakin pesat. Bagaimanapun Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang Senai masih tidak dinaik taraf selari dengan pembangunan.

Apabila kita membincangkan tentang kaedah menarik pelancongan, pelancong-pelancong atau pun kedatangan pelabur-pelabur asing ke Johor, tetapi pintu masuk negeri kita iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sentiasa mengalami kesesakan trafik di jalan utama. Maka keyakinan pelabur-pelabur asing dan imej baik negeri Johor juga akan terjejas. Justeru itu, perancangan trafik, kerja-kerja naik taraf jalan serta sistem lampu isyarat di Jalan Seelong-Ulu Tebrau dan Jalan Lapangan Terbang Senai perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam masa jangka pendek.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin menyentuh isu kereta terbiar dan kenderaan berat yang diletakkan di kawasan perumahan yang semakin berleluasa. Aduan kereta terbiar di kawasan Senai dan Kulai semakin bertambah disebabkan proses pelupusan kenderaan yang perlu melalui kaedah pelucutan hak akhir di mahkamah terlalu panjang. Kereta-kereta terbiar boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti menghalang lalu lintas dan petak parking, merosakkan keindahan bandar dan mengancam nyawa penduduk apabila ia diletakkan di sebelah jalan sahaja. Dan mungkin menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Oleh demikian, tindakan menunda kereta dan pelupusan kenderaan buruk perlu disegerakan supaya aduan awam dapat di selesaikan. Tambahan tapak letak kenderaan terbiar di PBT juga tidak dipenuhi dengan kenderaan. Sebenarnya, Undang-Undang Pengangkutan Jalan telah di pinda dalam Parlimen, sidang Parlimen pada tahun 2019 yang mana proses pelupusan kenderaan terbiar mengambil masa tidak lebih 33 hari dan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan. Oleh itu, saya berharap kerajaan negeri Johor dapat mengambil inisiatif untuk mengesyorkan satu garis panduan yang baharu supaya dapat dilaksanakan di 16 PBT di negeri Johor.

Selain itu, kenderaan berat yang diletakkan di kawasan perumahan juga seperti bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa. Pada 13 Julai lepas terdapat sebuah lori diletakkan di depan TNB Substation di Jalan Teratai, Indahpura, Kulai dan berlaku kebakaran yang melibatkan 3 buah rumah berhampiran telah mengalami kerosakan. Menurut apa yang saya dimaklumkan daripada penduduk setempat, lori tersebut telah diletakkan di kawasan tersebut sejak sekian lama dan penduduk telah pun membuat aduan tentang kenderaan terbabit kepada pihak PBT sebelum kejadian berlaku. Kenderaan berat yang diletakkan di kawasan kediaman bukan sahaja akan menghalang penglihatan penduduk jika berlaku kebakaran malah turut mengundang risiko keselamatan jika kenderaan membawa muatan bahan mudah terbakar.

Justeru itu, Senai menggesa agar pihak berkuasa seperti PBT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas dalam isu ini. Pada masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu menyediakan terminal kenderaan berat di setiap kawasan kediaman semasa membuat perancangan bandar. Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Senai mengakhiri ucapan perbahasan ini, Senai berharap agar belanjawan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan memberikan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Senai. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan selama 15 minit sehingga jam 3.40 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.25 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3.40 petang.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023 Tahun 2022.Bill

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung. Dipersilakan Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker yang telah memberi ruang dan peluang untuk Parit Raja terlibat dalam perbahasan belanjawan bagi tahun 2023. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terlebih dahulu Parit Raja merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih dan ucap selamat Hari Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim pada 22 November yang lalu. Parit Raja mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dalam keafiatan serta seluruh keluarga DiRaja sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah jua. Semoga di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku negeri Johor bertambah aman, makmur dan sejahtera, Daulat Tuanku.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Al Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berserta Majlis Raja-Raja yang telah dengan begitu bijaksana menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum yang ke-15. Patik berdoa dengan kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta kemajuan negara akan dapat terus dipelihara.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja merakamkan kesyukuran atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor bagi Tahun 2023 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan penuh keazaman dan iltizam untuk terus memacu kemajuan dan kemakmuran rakyat negeri Johor. Tahniah Parit Raja ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta barisan EXCO dan ditunjangi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor yang telah berganding bahu dalam usaha menyediakan Belanjawan Negeri Johor. Belanjawan Negeri Johor 2023 ini terus bersifat memacu pemulihan ekonomi, kompeten dan mampan agar terus dapat berdaya tahan ketika saat berdepan dengan ekonomi semasa yang kini berada dalam keadaan mencabar dan tidak menentu. Kerajaan negeri terus memberi perhatian yang serius dengan melipat gandakan usaha agar dapat memberi limpahan ekonomi kepada seluruh rakyat negeri Johor. Kerajaan negeri Johor yang telah diberi mandat hari ini, mestilah mengupayakan dan mencorakkan kesejahteraan rakyat negeri Johor dengan lebih baik. Ia adalah satu usaha menyambung kesinambungan kejayaan-kejayaan dan pembangunan yang telah pun di laksana. Malah, usaha-usaha dan untuk berdepan dengan menyelesaikan cabaran-cabaran baru. Justeru, Parit Raja berpandangan bahawa pendirian Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memberi fokus dan tumpuan untuk merancakkan semula ekonomi dan kemakmuran negeri Johor adalah amat bertepatan sekali. Strategi Belanjawan Negeri Johor selari dengan Agenda Maju Johor, yang ditunjangi oleh 6 teras dan di dokong oleh 26 strategi dan setiap strategi disokong ampuh oleh 110 inisiatif.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras yang pertama merupakan asas dan tunjang kepada keseluruhan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Parit Raja mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri atas inisiatif dan pelan strategik dalam usaha menambah baik sistem tadbir urus kerajaan. Dasar-dasar kerajaan telah di terjemah oleh sistem, oleh kumpulan pelaksana. Ia juga merangkumi pentadbiran pengurusan pejabat, front desk dengan izin, kecekapan kakitangan, kepakaran sumber manusia dan synergy pengurusan sumber yang telah menjayakan hasrat murni kerajaan dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang demi menjamin kesejahteraan rakyat. Peranan front desk dengan izin, di agensi-agensi adalah amat penting. Bukan sahaja sebagai cerminan, tetapi kumpulan pelaksana yang paling hampir untuk memberikan informasi yang jelas dan tepat kepada rakyat. Nilai bersama dan etika kerja serta profesionalisme berteraskan pelanggan iaitu rakyat sentiasa perlu diperkasakan.

Dengan ketersediaan profesionalisme kumpulan pelaksana ini ia menjadi satu elemen penting dalam menjayakan dasar kerajaan dan pelaksanaan belanjawan yang telah dibentangkan. Syabas dan tahniah kepada seluruh penjawat awam yang telah membantu merealisasikan pelaksanaan belanjawan yang lalu. Dan kini, kita mendepani keadaan ekonomi serta perubahan iklim semasa yang tidak menentu. Ketersediaan, pelbagai inisiatif kepada rakyat bagi 2023. Maka insya-Allah akan sekali lagi dapat kita jayakan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam perbahasan kali ini Parit Raja mengambil ruang untuk mengemukakan cadangan agar mendapat pertimbangan untuk dijayakan. Selaras dengan hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mempertingkatkan tadbir urus dalam teras yang pertama, Parit Raja amat berharap kerajaan negeri dapat memperketatkan syarat dan meningkatkan penguasaan terhadap pemaju-pemaju perumahan dan kontraktor. Hal yang demikian kerana terdapat pemaju yang tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan akibat kecuaian pihak pemaju sehingga kesan dan

akibat terpaksa ditanggung oleh penduduk asal, khususnya warga pinggir bandar dan kampung. Kerajaan negeri perlu memberi perhatian terhadap perkara sebegini, menyatakan usaha dan mengemukakan cadangan dalam menyelesaikan permasalahan ini. Dan apakah kaedah yang tuntas kerajaan negeri dalam mengurus pemaju agar pada masa yang sama kesejahteraan dan keselamatan rakyat dalam keadaan terjamin, khasnya bagi warga pinggir bandar yang pesat membangun.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras kedua Belanjawan Negeri Johor 2023 menjadi nadi kemajuan dan kemakmuran. Parit Raja menyokong penuh atas enam strategi dan 29 inisiatif yang digariskan dengan dasar serta pendekatan baru yang lebih kompeten. Selari dengan pemerkasaan Invest Johor, Seri Gading, Parit Raja berupaya menjadi zon pembangunan perindustrian, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah barat Johor berteraskan perindustrian, pertanian, bandar pendidikan dan TVET dan pelancongan yang maju dan berdaya tahan, sejahtera dan mampan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Batu Pahat merupakan daerah yang terkenal dengan perindustrian tekstil, pembuatan dan juga perkhidmatan. Dengan lokasi pelaburan yang strategik, Batu Pahat berupaya menumpukan bidang-bidang yang mendapat permintaan tinggi, bidang pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi serta mempunyai elemen mesra alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Ia selari dengan wujudnya pusat pengajian tinggi berhampiran yang mempunyai menyediakan modal insan, mempunyai kepakaran serta latihan kemahiran pendidikan, teknikal dan latihan vokasional dan strategi pihak kerajaan untuk mewujudkan inisiatif bagi memulihkan dan meningkatkan serta memacu pasaran kerja di negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sehubungan dengan itu, beberapa perkara yang ingin Parit Raja mohon untuk dipertimbang dan juga Parit Raja mohon ianya diberi perhatian agar kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung tradisi di sekitar kawasan perindustrian Sri Gading, Parit Raja turut mendapat limpahan kemakmuran dan kesejahteraan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan penambahbaikan, diberi pertimbangan untuk dilaksanakan. Perkara yang secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya di kawasan Parit Raja. Di dalam pembentangan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada dinyatakan, di bawah teras pertama tentang kurniaan tanah kepada generasi FELDA kedua, Parit Raja menyokong strategi ini, biarpun tiada kawasan FELDA di kawasan Parit Raja, namun Parit Raja mohon kerajaan mempertimbangkan perkara ini bagi menyelesaikan pemilikan tanah di kawasan kampung tradisional yang terdapat di Parit Raja seperti Kampung Sri Gading dan Kampung Rahmat yang sehingga kini masih belum selesai. Kampung tradisional ini banyak menyumbang dari segi sosioekonomi dan sebahagian anak generasi kedua dan ketiga telah menyumbang sebagai rakyat Johor yang berjaya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui teras ketiga strategi pertama yang dibentangkan iaitu pembangunan perumahan rakyat. Parit Raja menyokong penuh hasrat kerajaan negeri untuk merealisasikan impian setiap Bangsa Johor memiliki kediaman, namun dengan pembangunan yang kian pesat di sekitar kawasan perindustrian Sri Gading, Parit Raja, Parit Raja mohon penjelasan apakah perancangan kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik di kawasan tersebut dan bilakah agaknya cadangan pembinaan? Buat masa ini taman-taman perumahan yang dibangunkan nilainya tidak kurang RM300,000.00 dan ada yang mencecah RM700,000.00. Parit Raja memohon agar pihak kerajaan dapat meneliti semula agar warga desa juga dapat menikmati skim dalam perumahan, pembangunan perumahan rakyat Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sejak dunia berdepan dengan ancaman wabak COVID-19, ia secara tidak langsung terdapat perubahan pola bidang pekerjaan rakyat, khususnya di negeri Johor. Dengan pola perubahan tersebut, pekerjaan banyak tertumpu kepada bidang usahawan, industri kecil pertanian, industri asas tani, bidang penternakan

dan bidang pekerjaan ekonomi gig juga amat mendapat sambutan. Mereka semua sebenarnya amat layak mendapat perlindungan Akta Keselamatan Sosial yang bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial kepada orang yang bekerja sendiri dan kini dengan skim yang telah ditawarkan, mereka rakyat Johor seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perlindungan untuk diri dan keluarga mereka. Dengan jaminan Akta Keselamatan Sosial ini merupakan satu polisi yang diiktiraf serta amat bermanfaat kepada pengusaha-pengusaha yang tersebut, namun Parit Raja mencadangkan setiap agensi yang terlibat secara langsung dalam bidang usahawan industri kecil pertanian, industri asas tani dan bidang penternakan juga bidang pekerjaan ekonomi gig dapat melipat gandakan usaha agar dapat memberi kesedaran, keterjaminan kehidupan mereka lebih sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui teras kedua pembangunan ekonomi, Parit Raja menyambut baik dan menyokong penuh atas inisiatif dan usaha yang bakal dilaksanakan. Setiap daerah mempunyai keunikan dan potensi untuk dikomersialkan. Justeru bagi mengembangkan industri kecil dan sederhana, serta mengukuhkan peningkatan bekalan makanan, hub pengumpulan hasil pengeluaran perlu diwujud dan diperluaskan di setiap daerah. Selain menjadi one stop center, ia juga berpotensi menjadi tarikan pelancong dengan keunikan di setiap genap daerah di negeri Johor. Program-program keusahawanan juga diharap dapat lebih inklusif, memperluas geran bantuan kepada pemain industri terutamanya anak muda dan golongan wanita. Kerajaan negeri diharap dapat membuka peluang dan menyediakan inisiatif yang lebih luas kepada usahawan kecil yang berminat untuk memulakan projek rintis. Bantuan peralatan kepada usahawan industri kecil dan sederhana, bantuan khidmat nasihat kepada usahawan. Persaingan dengan syarikat besar sememangnya wujud, namun peranan perusahaan kecil dan sederhana juga amat penting sebagai tulang belakang rantaian ekonomi. Usaha mempergiat dan memperluas program keusahawanan memberikan tumpuan dan kepada setiap daerah dalam menyediakan latihan dan kursus-kursus keusahawanan kepada rakyat negeri Johor perlu berterusan dan diperkasakan. Selain itu, kerajaan negeri diharap dapat mengadakan kerjasama yang strategik juga dengan pengusaha-pengusaha aktiviti pertanian seperti pengusaha baja dan juga racun sebagai langkah kawalan harga untuk petani-petani. Parit Raja juga mengesyorkan agar digiatkan usaha menyediakan inisiatif geran bagi menambahkan bilangan rumah sembelihan berdaftar di negeri Johor dengan memberi peluang kepada penternak-penternak yang berpotensi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, antara isu yang membelenggu rakyat ialah kini berdepan dengan corak perubahan iklim. Mereka terpaksa dengan susah payah berhadapan dengan situasi banjir. Ini kerana mereka terpaksa mengalami kerugian atas kerosakan dan kemusnahan peralatan, juga tempat tinggal. Kepada mereka, mereka meletakkan tanda harap yang begitu tinggi kepada kerajaan negeri untuk menangani masalah ini. Kawasan yang terlibat dengan banjir kilat dan juga banjir termenung perlu ditangani dan dicari jalan penyelesaiannya. Rakyat yakin dengan kepakaran kejuruteraan serta kerja berpasukan oleh pelbagai agensi yang terlibat, perkara ini insya-Allah akan dapat diatasi. Dalam teras kelima telah digariskan keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar bagi memelihara keselesaan dan kesejahteraan hidup. Pekan Sri Gading dan kampung sekitar Pura Kencana antara kawasan tumpuan supaya dapat disenaraikan dalam projek tebatan banjir.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja meneliti teras keenam, begitu banyak usaha dan inisiatif pihak kerajaan kepada golongan muda. Usahawan muda juga diberi peluang untuk mengambil inisiatif dan peluang yang disediakan oleh seluruh agensi kerajaan. Golongan muda di negeri Johor ini sentiasa diraikan, tambah bertuah mereka sentiasa mendapat perhatian khusus dari Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Johor. Menjunjung kasih Tunku. Kejayaan-kejayaan gemilang bola sepak Johor dan kontinjen SUKMA Johor adalah bagi membakar semangat orang muda untuk terus bergiat dalam minat dan kepakaran masing-masing. Parit Raja amat berharap agar inisiatif

dan yang diikhtiarkan oleh kerajaan negeri Johor dapat digarap dan dimanfaatkan oleh anak muda dengan sebaik-baiknya. Parit Raja yakin usaha untuk mempertingkat dan menambah baik polisi-polisi untuk anak muda merupakan satu usaha yang berterusan. Parit Raja juga yakin, dari masa ke semasa banyak lagi, insya-Allah usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri untuk mempertimbang dan meneliti peruntukan tambahan yang amat penting dan mendesak bagi membantu keseluruhan rakyat Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja mengambil kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini untuk merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti ketua-ketua jabatan serta seluruh agensi dan penjawat awam yang bertungkus lumus melaksanakan tugas tanpa lelah. Kegigihan mereka sebagai tunjang dan asas menjayakan belanjawan dan dasar-dasar kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin dan negeri Johor terus makmur. Ini merupakan satu semangat muafakat yang merupakan satu khidmat yang besar buat negeri.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhirnya bagi merealisasikan Belanjawan Johor, marilah kita berganding bahu memastikan Bangsa Johor berjaya untuk keluar dari pelbagai cabaran dan masalah yang wujud dengan cara Johor. Hubungan yang telah terbina dan dimulakan di negeri Johor ini, hubungan masyarakatnya begitu unik. Dengan kepelbagaian kaum dan kepercayaan, ibarat bagaikan aur dengan tebing. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni, mendapat sama berlabuh, kehilangan sama merugi, seliang bagaikan tebu, serumpun bagaikan serai, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah, putih tulang dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, genggam bara api biar sampai menjadi arang. Janganlah pula bagai mencincang air, harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hormat menghormati adalah tunjang kekuatan kita. Muafakat membawa berkat. Sekian, Parit Raja menyokong Belanjawan 2023. Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurniaNya yang diberikan kepada Penawar untuk bersama-sama dalam sesi perbahasan pada petang ini. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum Penawar meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu Penawar ingin merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun kelahiran, keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya.

Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Kejayaan JDT menjadi pasukan pertama menjulang 4 Piala pada satu musim sememangnya merupakan lakaran sejarah yang luar biasa yang gemilang yang cukup membanggakan. Tahniah juga diucapkan dan Penawar menumpang rasa bangga di atas apabila kontinjen Johor mencipta sejarah yang cukup bermaknanya apabila buat kali pertamanya menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur pada September yang lalu dan 6 pingat telah disumbangkan dari atlet dari Penawar. Alhamdulillah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Onn, Menteri Besar Johor yang telah selesai membentangkan Belanjawan Johor 2023 yang bertemakan Maju Johor : Makmur bersama Rakyat. Belanjawan Johor 2023 membuktikan kerajaan negeri Johor, yang diterajui oleh Barisan Nasional sentiasa memikirkan soal rakyat Bangsa Johor yang telah memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk menjadikan Johor sebagai sebuah kerajaan yang stabil dan makmur. Belanjawan Johor 2023 ini dirangka berdasarkan kepada denyut nadi Bangsa Johor yang merangkumi seramai 3.8 juta rakyat Johor yang sentiasa berada di hati dan benak fikiran kerajaan negeri Johor.

Beberapa inisiatif dan program yang menarik perhatian saya dan suka untuk saya memberi sedikit buah fikiran atau cadangan bagi tujuan penambahbaikan agar dinikmati oleh rakyat. Dalam Teras Keempat, Kemudahan dan Keperluan Asas, iaitu dalam Strategi Pertama melalui inisiatif keempat Belanjawan, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM9.4 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta peralatan dan perabot sekolah-sekolah agama negeri Johor. Sekolah Agama Kerajaan Johor merupakan sistem pendidikan agama yang unggul di Malaysia dan Sekolah Agama Bandar Penawar merupakan salah satu daripada 10 buah sekolah agama yang berada di DUN Penawar. Sekolah Agama Bandar Penawar seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan negeri kerana sekolah ini berhadapan dengan dua permasalahan yang utama, iaitu yang pertama isu kekurangan kelas. Sekolah ini tidak mempunyai bilik darjah yang mencukupi untuk menampung kepadatan murid sekarang. Pada masa kini, murid-murid yang sama aliran terpaksa dibahagikan kepada beberapa sesi pembelajaran iaitu sesi pagi murid-murid dibahagikan kepada 3 sesi, manakala pada sesi petang, murid-murid akan dibahagikan kepada 2 sesi. Sekolah masih menjalankan sistem penggiliran untuk mengatasi masalah kepadatan murid semasa. Namun, ia tidak mampu untuk menampung penambahan bilangan murid yang dijangka lebih tinggi pada masa akan datang. Mengikut unjuran penambahan murid 3 tahun mendatang, rekod jumlah murid terkini yakni bulan Oktober 2022 yang saya perolehi adalah jumlah murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor seramai 1,568 orang dan murid Tadika Agama Johor (TAJ) 71 orang, maka jumlah keseluruhan murid adalah seramai 1,639 orang.

Yang kedua, isu kekurangan tenaga pengajar. Disebabkan kepadatan murid di Sekolah Agama Bandar Penawar ini, saya ingin menekankan bahawa penambahan guru-guru amat-amat diperlukan di sekolah ini dalam kadar segera. Data terkini yang diperolehi, jumlah guru sekolah agama kerajaan negeri Johor yang ada sekarang adalah 18 orang dan guru TAJ adalah 4 orang. Pihak sekolah memerlukan penambahan sekurang-kurangnya 5 orang guru dengan kadar segera mengikut kesesuaian jumlah murid dan kelas yang terkini. Jumlah kelas yang tidak mencukupi juga memberi kesan terhadap fokus pembelajaran murid-murid. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar pihak kerajaan negeri dapat membina bangunan tambahan di sekolah ini bagi memastikan murid-murid dapat menimba ilmu dengan selesa dan kondusif.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui Teras Kedua, Pembangunan Ekonomi iaitu di bawah inisiatif ketiga Penganjuran Acara Pelancongan Johor. Kejayaan kerajaan negeri dalam penganjuran beberapa acara pelancongan di kawasan Penawar seperti Kejohanan Sukan Pelancongan Le Tape dan Ironman telah menjadi pemangkin kepada kehadiran pelancong di Johor. Mungkin selepas ini lebih banyak lagi penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa akan diadakan dan ia boleh menjadi salah satu daya tarikan untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri Johor amnya dan Penawar khususnya. Penawar ingin mencadangkan agar keindahan alam semula jadi dan keindahan bandar juga dititik beratkan dan pencahayaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancongan perlu ditambah baik.

Selain daripada itu, jaringan internet kini merupakan salah satu keperluan asas dalam menyokong pembangunan modal insan dan industri pelancongan. Oleh yang demikian, ianya perlu dapat ditambah baik agar jaringan internet dapat dicapai bukan sahaja oleh rakyat tempatan malah pelancong yang hadir. Terima kasih diucapkan kepada pihak KEJORA dan MPP yang sentiasa berusaha menjadikan Penawar sebagai sebuah kawasan pelancongan yang setanding kawasan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita sedia maklum bahawa kini Penawar semakin pesat membangun dengan pelbagai jenis pembangunan terdiri daripada kategori pelancongan bertaraf antarabangsa. Institusi pendidikan dan perdagangan. Maka saya sebagai rakyat Johor amat berharap agar kerajaan persekutuan yang telah terbentuk ini tidak menganaktirikan negeri Johor sebagaimana Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor ketika Pembukaan Sidang Dewan pada 16 Jun 2022, baginda menegaskan kerajaan persekutuan memberi peruntukan yang lebih banyak kepada kerajaan negeri dan baginda juga mengingatkan bahawa setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan telah dikutip di negeri Johor.

Penawar juga menyeru agar Kerajaan Perpaduan pada hari ini segera menunaikan janji untuk menaik taraf Lebuh raya Senai-Desaru daripada 2 lorong kepada 4 lorong.

Penawar juga terus merayu agar sebuah hospital dapat didirikan di dalam kawasan Penawar bagi menampung keperluan dan menaik taraf sistem kesihatan di dalam parlimen Pengerang. Pada hari ini masyarakat kampung di Pengerang terpaksa menempuh jarak perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi. Sebagai contoh, pesakit yang menetap di FELDA Air Tawar 5 terpaksa menempuh perjalanan sejauh 42km atau mengambil masa hampir 40 minit, manakala pesakit daripada kawasan Kampung Pengerang terpaksa menempuh perjalanan sejauh 72km atau mengambil masa hampir 1 jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi. Besar harapan Penawar supaya isu ini diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan.

Teras Pertama dalam agenda Maju Johor melalui Strategik Kedua : Penyampaian Perkhidmatan yang responsif di bawah inisiatif ketiga. Dalam pembentangan Belanjawan 2023 adalah kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA sejak tahun 2020 sehingga tahun 2022. Pentadbiran Tanah Johor telah menyelesaikan sebanyak 3,561 permohonan berkaitan tanah FELDA. Oleh yang demikian, pada tahun 2023, Pentadbiran Tanah Negeri Johor mensasarkan 4,000 permohonan kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA. Pemimpin bersih semakin tersohor, jasa dan budi jadi ingatan, terima kasih kerajaan Johor, lot generasi telah direalisasikan.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah mengurniakan hak milik kepada seramai 655 orang penerima daripada FELDA Air Tawar 4 dan FELDA Air Tawar 5 pada 15 November yang lalu. Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang lebih penting yang sepatutnya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri iaitu isu berkaitan dengan peruntukan infrastruktur untuk pembangunan kawasan perumahan generasi kedua FELDA ini. Tanah sudah diberi, tetapi perancangan pembangunan gagal di laksana. Isu ini sering membelenggu dan menjadi antara punca utama sering berlakunya banjir kilat di kawasan FELDA. Kita tidak mahu seperti pepatah yang mengatakan, rumah sudah siap, tetapi pahat masih berbunyi. Saya yakin dan percaya keupayaan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu ini.

Isu yang sering menjadi buah mulut dan masih hangat diperkatakan di Penawar adalah berkenaan isu perumahan PGBF di FELDA Papan Timur. Isu perumahan ini telah berlarutan selama hampir 10 tahun dan sehingga kini isu perumahan ini gagal diselesaikan. Projek pembinaan perumahan ini telah bermula pada tahun 2013 dan telah berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga gagal disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan walaupun pemaju berjanji akan menyiapkan projek perumahan ini pada tahun 2023. Rakyat

sudah tidak mahu mendengar tarikh penangguhan lagi. Apa yang mereka mahukan ialah tarikh serah kunci dan tarikh layak diduduki.

Di bawah Teras Kelima : Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar dan Saliran iaitu di bawah strategi kedua Pemeliharaan dan Pemuliharaan Sungai melalui inisiatif kedua penyelenggaraan sungai dan saliran. Saban tahun banjir telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan orang awam. Penawar mencadangkan agar kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, pembersihan sungai dan parit dilakukan secara berkala. Di Penawar sering berlaku banjir kilat apabila hujan lebat yang berlebihan. Apabila dikenal pasti punca ialah daripada sungai dan parit yang tidak di selenggara termasuklah culvurt yang sudah terlalu lama, rosak dan pecah yang menyebabkan air hujan terganggu. Apabila hujan lebat, penduduk di FELDA Sg. Mas, FELDA Air Tawar 1, serta Kampung Sg. Mas sentiasa berwaspada. Saya turut gusar apabila rakyat sentiasa berasa susah hati ketika hujan turun secara berterusan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan ini sekali lagi saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas Belanjawan Johor 2023 yang telah dibentangkan dan saya menyeru kepada diri saya dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar kita semua dapat memberikan kerjasama dan sokongan yang penuh komited kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam menjayakan misi Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat, kerana sesungguhkan Muafakat itu Berkat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Akhir kata, itu sahaja yang saya ingin sampaikan pada petang ini dari denyut nadi rakyat Penawar pada siri kali ini. Sekian, Penawar mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Wa’alaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pekan Nenas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Selamat petang. Selamat sejahtera. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker memberi peluang dan ruang kepada Pekan Nanas untuk bersama-sama dalam sesi perbahasan pada sidang Dewan ini. Sebelum lidah ini berbicara dengan lebih panjang, izinkan Pekan Nanas merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik panjatkan doa kesyukuran semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia serta berada dalam keadaan sihat walafiat. Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT yang telah berjaya menjuarai Piala Malaysia 2022 pada November, pada 26 November yang lalu.

Pekan Nanas ingin merakamkan ucap setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi di atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2023 dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bahas penghasilan belanjawan pada kali ini. Dengan tema “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”. Belanjawan Negeri Johor 2023 jelas membuktikan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan usaha memperkasakan kemasyhuran dan kemakmuran negeri Johor tanpa mengabaikan kepentingan 3.8 juta rakyat di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mengucapkan tahniah kerana negeri Johor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM60.9 bilion serta meningkatkan jumlah import dan eksport yang memberangsangkan. Semua ini kita kecapi hasil daripada kedudukan politik Johor yang stabil. Keyakinan pelabur untuk masuk ke dalam negeri kita telah membawa limpahan ekonomi yang menyeluruh untuk rakyat

Johor. Sekiranya kita dapat mengekalkan momentum seperti ini, saya yakin dan percaya Johor akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di dalam pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang lepas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah membentangkan pelbagai strategi di dalam Teras Kedua, Pembangunan Ekonomi sejumlah RM1.9 juta telah diperuntukkan untuk memperkasa misi pelaburan negeri Johor dalam usaha untuk memperkaitkan agenda maju Johor. Suka untuk saya tekankan tentang peluang pelaburan yang ada di kawasan saya, Pekan Nanas. Sejak kebelakangan ini kawasan Pekan Nanas telah dibanjiri dengan pelabur yang datang membuka syarikat perkilangan dan pembuatan. Tidak keterlaluan untuk saya katakan Pekan Nanas sekarang merupakan sebuah kawasan industri yang sedang pesat membangun. Dengan kawasan yang strategik yang terletak di pertengahan antara Johor Bahru dan Pontian. Pertumbuhan syarikat perniagaan jenis pembuatan terus menempatkan impak positif dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 179 syarikat berdasar daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2022. Kebanyakan syarikat yang ada merupakan syarikat pembuatan antarabangsa. Saya yakin dan percaya pertumbuhan ini akan dapat terus dipacu ditambah dengan pembinaan Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer antara Gelang Patah dan Kukup yang telah pun siap dan dijangka dibuka...

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pekan Nanas sila duduk. Kita beri laluan pada seruan azan.

(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan)

Timbalan Speaker

Jemput.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih. Penduduk tempatan akan mendapat manfaat yang besar daripada projek ini. Ini bukan sahaja akan menyedia lebih banyak peluang pekerjaan malahan dia juga akan memacu lebih banyak pelaburan ke kawasan Pekan Nanas. Pekan Nanas juga dikelilingi oleh kawasan-kawasan hebat yang membangun seperti Kulai dan Johor Bahru. Daerah Pontian juga termasuk di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar, oleh itu Pekan Nanas seharusnya sudah boleh menikmati limpahan ekonomi yang selayaknya untuk rakyat dan pembangunan kawasan. Sehubung itu, saya mohon kerajaan negeri tidak mengabaikan potensi yang ada di Pekan Nanas ini. Sediakan satu pelan perancangan untuk menarik lebih ramai pelabur masuk ke dalam kawasan Pekan Nanas. Melalui insentif-insentif Belanjawan Johor 2023, seperti Friendly Johor 2.0 dan Johor Go Global 2.0, saya percaya pelabur akan cukup yakin datang ke kawasan Pekan Nanas sekiranya pihak kerajaan negeri dapat memainkan peranan menarik dan mempromosi potensi yang ada kepada pasaran antarabangsa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, infrastruktur atau prasarana awam merupakan aspek yang amat penting dalam misi untuk membawa Johor sebagai sebuah negeri maju dan makmur pada masa akan datang. Pembangunan infrastruktur yang baik dapat menjamin menyampai perkhidmatan kerajaan yang lebih efisyen dan terbaik diberi kepada masyarakat. Di dalam Teras Satu, Strategi Tiga Greater Johor, usaha yang amat baik oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan dalam kalangan empat buat PBT bagi menjadi Johor sebagai sebuah metropolis pada masa hadapan. Usaha ini amat baik kerana ianya berupaya untuk memberikan keyakinan kepada para pelabur dan pelancong bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan kerajaan sedia ada mampu memangkin kemajuan Johor. Dalam pada itu, usaha yang sama untuk meningkatkan PBT daerah lain tidak dilupakan, sejumlah RM798.95 juta diperuntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur awam yang meliputi penyelengaraan kemudahan jalan, perparitan dan pemasangan lampu jalan. Saya berpandangan dengan jumlah peruntukkan ini, dia akan menaik taraf fasiliti-fasiliti awam yang sudah uzur yang masih tidak dinaik taraf. Di Pekan Nanas banyak aduan berkenaan infrastruktur awam yang

sudah uzur yang tidak dapat dinaik taraf kerana kekangan kewangan bajet pihak konsesi PBT. Akibat banyak aduan awam tertangguh perkara ini sedikit sebanyak telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap kebolehan kerajaan untuk membantu menyelesaikan aduan mereka. Selain itu, dengan jumlah peruntukan tersebut diharap dapat dinaik taraf jalan-jalan kampung yang sudah semakin uzur di Pekan Nanas. Sekarang jalan-jalan kampung tersebut sudah menjadi antara laluan utama orang ramai untuk ke destinasi yang dituju. Bukan itu sahaja, saya sudah lama memperjuangkan pemasangan lampu jalan di jalan utama Pekan Nanas dari Hulu Pulai ke Pekan Nanas dan ke Pontian yang masih tiada lampu jalan di kebanyakan kawasan laluan. Keadaan jalan yang gelap, terutamanya pada waktu malam sering mendapat kemalangan dan ada menyebabkan kehilangan nyawa. Saya yakin fokus sedemikian dapat diberikan juga kepada PBT daerah lain. Untuk menjadi Johor maju, kita harus kembali kepada asas. Inilah asas yang perlu kita diberikan perhatian infrastruktur awam.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, rumah merupakan satu harta yang sangat penting dalam memberi ruang dan keselesaan serta tempat perlindungan dalam menjamin rasa selamat setiap individu dan keluarga. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang tertera di dalam laporan hartanah, berita-berita di dalam akhbar menunjukkan kenaikan harga rumah yang semakin hari semakin tinggi telah memberi tekanan kepada mereka yang belum memiliki rumah sendiri terutama sekali mereka yang bekerja dan menetap di bandar-bandar utama di Malaysia. Harga rumah yang ditawarkan di kawasan bandar amat mahal berbanding dengan di pinggir bandar. Hal ini menyebabkan golongan berpendapatan yang pertengahan sukar untuk memiliki rumah sendiri. Oleh itu, saya amat menyokong usaha kerajaan negeri untuk membina 21,139 unit Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh tahun yang akan datang. Seiring dengan kerancakan ekonomi kawasan Pekan Nanas, rumah mampu milik amat diperlukan bagi menampung sejumlah penduduk yang semakin meningkat. Untuk makluman saya dapati ramai anak muda golongan B40 dan M40 Pekan Nanas berhijrah ke luar kawasan dengan mendapatkan peluang memiliki rumah mampu milik. Golongan muda terutamanya B40 dan M40 pada dasar tidak mampu untuk membeli rumah yang berharga ratusan ribu. Saya yakin sekiranya rumah mampu milik dapat dibina di Pekan Nanas, kita dapat galak golongan muda menetap di kawasan dan sekali gus dapat melahirkan modal insan yang baik untuk kawasan kita.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang tidak meminggirkan keperluan masyarakat kaum Tionghoa dan India di negeri Johor. Dengan peruntukan RM12 juta kepada pembangunan kerohanian dan kebajikan masyarakat Tionghoa dilihat akan terus memupuk manfaat Bangsa Johor yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya lihat kerajaan negeri amat prihatin terhadap isu capaian Internet di negeri ini. Berbagai insentif telah berjaya dilaksanakan di peringkat negeri Johor untuk menyediakan fasiliti Internet yang baik untuk rakyat terutamanya apabila kehidupan pasca COVID-19, banyak berubah dan bergantung kepada platform atas talian. Saya ingin bawa satu gambaran di dalam Dewan yang mulia ini tentang isu jaringan Internet di Pekan Nanas. Saya tidak nafikan kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan dalam proses pemerkasaan jaringan internet ini. Jangan katakan 4G, 3G pun susah untuk dapat. Bayangkan betapa rumit keadaan mereka yang tinggal di kawasan yang terlibat. Dengan proses perbelanjaan atas talian yang semakin berkembang ini, kanak-kanak pelajar terutama tidak dapat bersaing untuk mendapatkan maklumat pelajaran secara atas talian kerana kawasan mereka yang tiada capaian internet yang baik. Oleh itu, saya harapkan melalui fasa 2 Pelan Jalinan Digital Negara yang dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2023 ini, dapat memberikan fokus kepada kawasan luar bandar yang masih tiada capaian internet terutamanya kawasan DUN Pekan Nanas sebagai sebuah kawasan pesat membangun ketika ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di Johor dapat 432 hotspot banjir yang memerlukan perhatian khususnya kerajaan negeri antara adalah Pekan Nanas. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, masalah banjir di kawasan Pekan Nanas bukanlah satu isu baru, malah ia sudah berlaku berpanjangan sejak lebih berpuluh tahun yang lalu. Lebih-lebih lagi jika berlaku hujan lebat berterusan paras air akan naik secara mendadak dan menenggelamkan kebanyakan kawasan kampung di Pekan Nanas yang menjadi mangsa sudah tentu orang kampung. Syukur kerajaan negeri cakna isu ini dengan memperuntukan RM113.7 juta di dalam Belanjawan Johor kali ini bagi penyelenggaraan sungai dan saliran. Saya juga cadang kepada kerajaan negeri untuk gunakan nature based solution bagi mengatasi masalah banjir yang jangka masa panjang. Mitigasi memerlukan jumlah peruntukan yang besar untuk mengatasi banjir. Namun, keberkesanan adalah rendah berbanding dengan rancangan adaptasi yang memberikan kos lebih murah dan dapat merangka pelan jangka masa panjang. Kita harus memikir cara bagi menyelesaikan masalah ini bagi tempoh jangka masa panjang bukan hanya melapor sejumlah peruntukan bagi satu tempoh pendek dan kemudian berulang kembali.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya amat mengalu-alukan pandangan dan idea orang muda dalam membantu pentadbiran dan membangunkan kawasan saya di Pekan Nanas. Di dalam Belanjawan Johor 2023 ini, pihak kerajaan negeri amat komited dalam pembangunan belia di negeri ini. Pelbagai strategi dan insentif telah digarap daripada pembangunan pendidikan sukan jati diri dan sahsiah untuk memastikan nasib anak muda kita dipelihara dengan baik oleh kerajaan negeri dan tidak ketinggalan. Dalam aspek pembangunan sukan kita juga sudah mempunyai atlet Sukan Malaysia yang berasal dari Pekan Nanas yang telah mengharumkan nama negeri Johor dalam kejohanan SUKMA yang lalu. Sekiranya fasiliti sukan dapat ditambah baik dinaik taraf saya yakin lebih ramai bakat-bakat muda seperti ini dapat kita bentuk untuk Johor amnya dan Pekan Nanas khususnya.

Oleh itu, saya mohon prihatin Yang Berhormat Menteri Besar untuk melihat dan menilai keadaan fasiliti sukan terutama sukan awam di kawasan kampung untuk melahirkan seorang anak muda yang berjiwa sukan itu sudah semestinya memulakan dari bawah iaitu dengan menggunakan fasiliti sukan awam. Bukan itu sahaja, ia juga untuk menarik anak muda kita suka bersukan atau beriadah bersama menjalani cara hidup sihat. Saya mohon di bawah Belanjawan Johor ini fokus juga diberikan kepada menaik taraf fasiliti sukan awam yang sudah semakin uzur di kawasan Pekan Nanas seperti gelanggang futsal dan bola keranjang. Selaras dengan agenda pembangunan sukan negeri Johor, perkara ini perlulah kita lihat dan teliti dengan sebanyaknya.

Timbalan Speaker

Pekan Nanas sila gulung.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Sikit aje. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pemutusnya Belanjawan 2023 merupakan satu Belanjawan yang amat menyeluruh dengan pendekatan kepada aspek pembangunan negeri secara keseluruhan. Pelbagai aspek disentuh dengan komprehensif dan tiada golongan yang terabai. Saya yakin dan percaya dengan kestabilan kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita akan terus maju dan makmur terkenal di mata dunia. Saya Pekan Nanas mohon menyokong. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima Kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Dijemput Yang Berhormat Kempas.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bersyukur saya kepada Allah SWT kerana limpah kurnia serta izinNya, Kempas dapat turut serta dan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2023 di dalam Dewan yang mulia pada petang ini. Terlebih dahulu izinkan Kempas untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan ucapan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan

Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Takzim Sempena Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November 2022 yang lalu. Patik bersama sekalian warga kempas berdoa kepada Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian kerabat DiRaja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat walafiat bagi menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor. Patik turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas pencapaian cemerlang Kelab Bola Sepak JDT sejak bermulanya transformasi pasukan bola sepak negeri hingga kini. Kempas turut berasa bangga dengan kejayaan lain yang diraih dalam acara sukan negeri Johor seperti muncul johan keseluruhan Sukan Malaysia SUKMA 2022. Kecemerlangan pasukan bola jaring Johor Jewels serta pasukan sepak takraw, Johor Tigris. Sesungguhnya, ke semua kejayaan yang diraih ini telah mengharumkan nama Johor. Semoga itu, Kempas merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas setiap kecemerlangan dalam bidang sukan dengan harapan ia akan berterusan pada tahun mendatang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas juga ingin mengucapkan tahniah atas komitmen daripada gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan sekali gus menyelesaikan kemelut yang tidak langsung diinginkan oleh rakyat Malaysia pasca PRU 15. Alhamdulillah, Kempas menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja atas tilik pandang serta kebijaksanaan terhadap pemilihan kepimpinan negara hari ini. Semoga kerajaan persekutuan yang baru ini dapat menggalas amanah demi negara dan rakyat tercinta dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara tercapai.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor atas pembentangan Belanjawan 2023 yang bertemakan Maju Johor, Makmur Bersama Rakyat pada hari Khamis yang lalu. Belanjawan yang selari dengan agenda Maju Johor iaitu impian melihat negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 yang menampilkan 6 teras disertakan dengan dokongan strategi dan inisiatif yang kompak ini begitu inklusif dan holistik bertepatan dengan ikhtiar ke arah kestabilan dan kemakmuran. Maka, besar lah harapan untuk melihat segala strategi dan inisiatif pada setiap teras dapat direalisasi dan dijayakan pada tahun hadapan sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seperti yang kita ketahui sejak dilantik sebagai Menteri besar, Yang Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam menyempurnakan tanggungjawabnya menguruskan pentadbiran kerajaan negeri seterusnya merencanakan pelbagai dasar dan inisiatif yang bersifat pro kepada rakyat. Begitu juga dengan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor sama ada jabatan mahupun agensi yang komited dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing bagi memastikan kecekapan perkhidmatan yang diberikan benar-benar dirasai oleh Bangsa Johor. Inilah sebuah pentadbiran, sebuah kerajaan yang walk the talk dengan izin yang sentiasa mengetahui keluhan dan permasalahan, segera mencari titik penyelesaian, sentiasa terbuka menerima kritikan, menyelusuri denyut nadi dan suara hati rakyat selain mengutamakan kemaslahatan Bangsa Johor tanpa mengira warna kulit. Setiap tindakan dan inisiatif yang diambil ini memanifestasikan tekad, iltizam serta kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang efektif dan efisien demi Bangsa Johor. Semua itu, tahniah sekali lagi Kempas ucapkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menzahirkan komitmen bahawa kerajaan negeri

pimpinannya akan terus menjaga dan membela golongan rentan serta semua yang memerlukan di negeri ini. Empat strategi berserta 19 inisiatif yang dibuat dalam teras jaringan keselamatan Johor telah dizahirkan dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada tahun hadapan. Di mana, ia turut melibatkan soal perumahan kepada rakyat. Memiliki kediaman sendiri merupakan impian setiap rakyat termasuklah mereka yang baru mendirikan rumah tangga dengan memiliki kediaman sendiri, maka lengkaplah kehidupan sebuah keluarga terutama pasangan muda bagi meniti liku-liku kehidupan. Pada masa kini, kita sedia maklum wujud rungutan yang amat tinggi terhadap kerajaan negeri untuk membina lebih banyak kediaman mampu milik terutama kumpulan masyarakat B40 di kawasan bandar khususnya. Bagaimanapun, Kempas mendapati tiada rumah untuk kumpulan masyarakat ini masih lagi tidak mencukupi, ini kerana banyak kediaman dibina tidak menepati permintaan rakyat berikutan kecenderungan pemaju membina rumah yang mahal.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pembinaan rumah pada julat harga RM200,000.00 hingga RM500,000.00 selain kediaman disasarkan kepada milik antarabangsa perlu diperhalusi oleh kerajaan negeri dengan penuh teliti. Pada masa kini, kerajaan negeri berhadapan dengan cabaran isu lambakan rumah yang tidak terjual atau overhang yang serius dan keadaan ini sebenarnya amatlah merugikan. Berdasarkan statistik di Pusat Maklumat Harta Tanah Negara bagi suku pertama tahun 2022, terdapat lebih 6,000 unit rumah bernilai RM4.7 bilion tidak terjual di negeri Johor. Oleh itu, Kempas ingin mengajukan dua cadangan melibatkan isu ini. Pertamanya, kerajaan negeri perlulah mengambil langkah pro aktif supaya tidak berlarutan. Dalam hal ini, pemantauan pengurusan awal bagi projek perumahan perlu dilakukan secara bersama antara pemaju dan Pihak Berkuasa Tempatan di mana harga yang ingin dibina perlulah ditawarkan pada julat harga yang mempunyai permintaan yang tinggi. Keduanya, Kempas menggesa kerajaan agar pembinaan Rumah Mampu Milik Johor perlu dipergiatkan lagi bagi memastikan golongan B40 terutama di kawasan bandar dapat memiliki kediaman. Kerajaan negeri mungkin boleh membina Projek Rumah Mampu Milik di tanah-tanah kerajaan di kawasan bandar dan sekiranya perlu tanah persekutuan boleh ditukar atau swap dengan tanah milik kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas ingin merakamkan terima kasih kepada Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana telah mengambil tindakan proaktif menyediakan peruntukan bagi menggantikan lif di PPR Kempas Permai. Alhamdulillah, ia telah berjaya disiap dan diselesaikan. Dan komitmen mantan Menteri ini besarlah harapan Kempas agar kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan akan terus membantu isu-isu perumahan negeri Johor dalam memberikan kesan kesejahteraan kepada rakyat. Ini meliputi permasalahan berbangkit bagi PPR di DUN Kempas seperti ketiadaan ruang tempat meletak kereta yang mencukupi, selain keadaan jalan yang menuntut perhatian kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan. Kempas sebelum ini pernah memanjangkan perkara ini dalam ucapan perbahasan pada persidangan yang lalu. Ketiadaan ruang tempat meletak kereta yang mencukupi di PPR Kempas, ini bukanlah masalah baru, sebaliknya ia telah berlarutan tanpa ada penyelesaian. Keseriusan masalah yang seakan tidak berpenghujung ini menuntut campur tangan daripada pihak kerajaan negeri untuk diselesaikan bersama kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga ke hari ini isu tempat letak kereta di PPR Kempas semakin serius berikutan pertambahan jumlah kenderaan milik penghuni dengan jumlah petak parkir yang ada. Selain meletakkan kenderaan jauh dari blok kediaman, penghuni terpaksa memberi risiko parking di bahu jalan. Ada di antara penghuni yang parking di petak letak kereta habis setiap pagi terpaksa berusah payah untuk menolak kenderaan lain yang telah parkir di hadapan sekali gus menghadang laluan sebelum pergi ke tempat kerja atau destinasi yang ingin ditujui. Selain itu, selain yang berbangkit di kawasan PPR adalah berkenaan permukaan jalan yang kurang memuaskan. Keadaan

permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata kadang kala menakung hujan antara permasalahan yang memerlukan perhatian untuk diatasi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam ini dapat diukur menerusi maklum balas positif yang diterima daripada rakyat sebagai pemegang taruh. Sebuah kerajaan tidak lari daripada menerima kritikan selain mendengar isu dan keluhan. Apa yang penting adalah kerajaan memahami setiap pengaduan dan merasa sendiri denyut nadi rakyat seterusnya mencari titik penyelesaian pada kadar segera, pada masa kini kerenah birokrasi harus dikurangkan dalam perkhidmatan yang diberikan. Kempas ingin mengambil kesempatan dalam ucapan ini untuk merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor yang diketuai Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, selain itu Kempas turut ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri atas pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah serta Anugerah Pelajar Terbaik. Tidak dilupakan ucapan syabas kepada Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah dan sarjana dalam bidang pengurusan masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama iaitu tadbir urus kerajaan Kempas ingin menyata inisiatif meningkatkan institusi-institusi ketua kampung dan ketua masyarakat di bawah strategi meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam dan modal insan, memuji usaha yang baik oleh kerajaan negeri bagi mengeluarkan usaha jangka pendek, redahan berkaitan protokol, komunikasi dan pentadbiran kepada semua ketua kampung dan ketua masyarakat selain galakan melanjutkan pelajaran diploma eksekutif. Kempas percaya inisiatif ini boleh menjadikan ketua kampung dan ketua masyarakat negeri Johor menjadi lebih berwibawa dalam berhadapan dengan rakyat kerana mereka adalah barisan hadapan atau frontliners kerajaan yang akan bertemu dengan masyarakat hampir setiap hari. Pada masa yang sama Kempas ingin mencadangkan dua cadangan iaitu pertamanya, ketua kampung dan ketua masyarakat juga harus diberikan pendedahan terhadap kursus jangka pendek dan jurusan berkaitan yang sesuai dengan latar belakang mereka dan Kawasan yang mereka wakili atau dipertanggungjawabkan.

Keduanya, dalam memastikan pemerkasaan ketua kampung dan ketua masyarakat dapat dilaksanakan, kerajaan negeri dicadangkan dapat menyediakan fasiliti seperti pejabat agar memudahkan akses rakyat kepada ketua kampung dan ketua masyarakat ini untuk mendapatkan bantuan. Selain itu, dicadangkan juga sekiranya kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan peruntukan khas kepada ketua kampung dan ketua masyarakat agar mereka menyampaikan bantuan kepada rakyat segera atau adhoc dengan lebih efisien, sepertimana peruntukan yang diberikan kepada Pegawai Daerah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara terakhir yang ingin Kempas sentuh dalam ucapan perbahasan ini adalah mengenai Jaminan Sekuriti Makanan dalam Teras Kedua iaitu pembangunan ekonomi kerajaan negeri telah menyatakan komitmen untuk memerkasakan industri makanan sebagai strateginya. Kempas melihat inisiatif di bawah strategi ini amatlah baik dalam usaha menjadikan negeri Johor sebagai tunjang utama, penyumbang bagi food basket kepada negara dan food bank bagi negara serantau, melihat kecenderungan masyarakat pada masa kini yang lebih cenderung untuk mencari makanan yang bukan sahaja segar, berkhasiat dan selamat, justeru Kempas mencadangkan agar kerajaan menerusi Jabatan Pertanian khususnya dapat menggalakkan pertanian-pertanian organik di negeri Johor menjadi pengeluar utama dalam industri ini, Kempas percaya jika ini dapat direalisasikan, ia mampu berikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi bagi pemain industri ini dimana hasil pendapatan ini bukan sahaja untuk keperluan tempatan, malah ia

juga dapat dieksport ke negara-negara jiran. Walau bagaimanapun, bagi memastikan produk ini benar-benar organik, kerajaan negeri perlu wujudkan satu badan penyelia bagi memastikan produk organik yang disediakan benar benar mencapai piawaian dan kualiti sebagai hasil pertanian organik yang sebenarnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam merealisasikan misi menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 menjadi realiti, Kempas mempunyai tinggi komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan ekonomi berstrategi dan inisiatif yang dilaksanakan sudah tentu untuk menjadikan Johor negeri yang maju, dasar dan pendekatan baharu yang segar diperlukan bersesuaian dengan persekitaran semasa bagi membolehkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berlaku secara mampan. Ini tidak terkecuali dengan bidang e-Ekonomi yang telah diberikan tumpuan secara serius oleh kerajaan sama ada diperingkat negeri mahupun persekutuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutama ketika dunia dan negara dilanda pandemik COVID-19. Sehingga kini, Kempas percaya angka penghantar makanan atau rider di seluruh negara, saban hari kian meningkat apatah lagi kita dapat melihat wujudnya syarikat penghantar ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Maka. Kempas mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan hentian atau pit stop kepada kumpulan penghantar makanan atau rider di setiap kawasan Dewan Negeri yang dijangka dapat berikan manfaat pejuang GIG Ekonomi ini. Cadangan ini dilihat sebagai langkah yang wajar untuk diwujudkan bagi memudahkan seterusnya memberikan keselesaan kepada kumpulan penghantar makanan atau rider ini melepaskan lelah mencari rezeki. Hentian atau pit stop ini terdiri dengan fasiliti dengan ruang rehat, tempat minum dan makan serta ruang solat bagi mereka yang beragama Islam. Oleh itu, sekiranya cadangan ini dapat diberikan pertimbangan Kempas percaya kumpulan ini mempunyai tempat untuk mereka beristirahat. Pada masa yang sama, kumpulan penghantar makanan atau rider ini tidak perlu berada di kaki lima atau perhentian bas misalnya untuk berehat sementara menunggu pesanan untuk diambil sebelum dihantar kepada pemesan. Sedikit sebanyak Kempas berkeyakinan jika cadangan ini dapat dijayakan akan meletakkan trend terkini penghantar makanan atau rider ini yang kebanyakan golongan belia ataupun orang-orang muda.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam meniti tahun 2023, yang sememangnya menjanjikan cabaran besar di balik tidak ketentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuklah negeri Johor ini, Kempas percaya Johor mampu untuk menghadapinya. Semua ini telah terbukti apabila ekonomi Johor telah kembali rancak pada fasa endemik dan pemulihan ketika ini setelah menempuh kesuramannya sewaktu dunia dan negara sedang diuji dengan pandemik COVID-19. Kestabilan politik di Johor setelah pentadbiran kerajaan negeri telah diterajui oleh Barisan Nasional dengan majoriti yang kukuh, pasca pilihan raya negeri pada bulan Mac yang lalu telah mendorong kepada kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri. Oleh itu, komitmen Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan perkhidmatan tadbir negeri dan anggota penjawat awam akan memastikan bahtera kerajaan negeri melalui badai 2023 dengan jayanya.

Sudah menjadi kepastian, tahun 2023 akan menghambat Bangsa Johor dengan gelombangnya tetapi akan kita hadapi dengan jati diri yang kukuh dengan tekad demi menjayakan agenda Maju Johor yang telah kita pasak dalam sanubari. Kempas ingin menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Negeri Johor yang berada dalam Dewan yang mulia ini turut bersama dengan kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri besar mengharungi cabaran yang mendatang demi kepentingan Bangsa Johor. Akhir kata, Kempas ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang realistik dan bertepatan dengan agenda

menjadikan Johor sebagai negeri maju. “Maju Johor: Makmur Bersama”, Kempas mohon menyokong. Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam Kempas. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menepati jangka masa yang diberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan. Dan ini telah membolehkan kita dapat memberi peluang kepada semua Ahli Yang Berhormat untuk terlibat dalam perbahasan. Insya-Allah esok, hanya tinggal 9 orang lagi yang akan melakukan pembahasan dan mudah-mudahan semua pihak akan puas hati dengan apa yang telah diketengahkan. Saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama ini. Dan kita telah sampai ke penghujung Persidangan pada hari ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 7 Disember 2022, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.