Johor · 7 December 2022

1st session, 4th meeting · 125 turns · 26,419 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, semalam Ahli-Ahli Yang Berhormat dari Mahkota, Tangkak dan Panti tidak hadir sidang Dewan melalui notis yang dibenarkan. Ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat berkenaan mengemukakan soalan lisan tanpa kehadiran mereka kerana dibaca oleh Ahli-Ahli Berhormat yang lain. Saya telah merujuk standing order Dewan Negeri Johor Perkara 26 (4) dengan izin, is the member entitle to an oral reply fail to rise and ask his question, ini bermaksud Ahli-Ahli Yang Berhormat ialah mereka hadir tetapi mereka tidak bangun. Oleh itu, saya memutuskan bahawa selepas ini bermula daripada tahun hadapan dalam sidang yang akan datang, Dewan tidak lagi akan membenarkan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak hadir di Dewan mesyuarat mengemukakan soalan lisan mereka melalui Ahli-Ahli Yang Berhormat lain. Tidak hadir adalah tidak hadir. Kita tidak membenarkan presiden yang tidak ikut peraturan apatah lagi menjejaskan kredibiliti Dewan. Bayangkan jika ada 10 soalan yang diproksikan dalam satu hari, maka di manakah kewibawaan Dewan. Logiknya, Dewan juga tidak membenarkan undian proksi walaupun Ahli Yang Berhormat tidak hadir kerana dijangkiti COVID 19 ataupun yang lain. Maka, begitulah juga soalan lisan tidak boleh diproksikan.

Saya juga ingin mengingatkan soalan lisan adalah juga nadi penting kepada Dewan Negeri selain daripada Bajet. Tetapi didapati ada juga Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak menghantar soalan ataupun hanya menghantar satu dua soalan sahaja. Semoga kita dapat memperbaiki perkara ini di masa akan datang. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Yang Berhormat Penggaram, dijemput.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Penggaram nombor 1.

Sila beri penjelasan mengapa sehingga sekarang kerajaan negeri masih belum menggunakan aplikasi e-bayaran parkir?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sangat komited dalam dan sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan dalam perlaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Bagi meningkatkan mutu penyampaian melalui transformasi pendigitalan secara komprehensif kepada rakyat, antaranya termasuklah merealisasikan smart parking ke arah kerajaan digital.

Untuk makluman Yang Berhormat, aplikasi e-Bayaran parkir telah pun dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru atau MBJB dengan melaksanakan sistem hibrid kupon dan aplikasi MBJB Spot Vision 2 di telefon pintar bagi pengurusan tempat letak kereta di

kawasan pentadbiran PBT tersebut. Pengguna boleh membayar petak parkir secara atas talian serta boleh membuat semakan dan bayaran-bayaran kompaun melalui aplikasi MBJB Spot dengan hanya menggunakan telefon pintar. Salah satu sub-komponen bagi Inisiatif Greater Johor Bahru adalah pelaksanaan Bandaraya Pintar secara bersepadu. Perbincangan di peringkat 4 PBT negeri Johor iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai atau MPKu telah diadakan bagi penyelarasan kaedah pelaksanaan dan penyeragaman aplikasi sistem Smart Parking. Secara tidak langsung pelaksanaan inisiatif ini akan menggalakkan perluasan pemakaian sistem aplikasi parkir di setiap PBT di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mengenai cara membayar caj parkir kereta melalui atas talian ataupun e-Bayaran yang disebutkan dalam soalan YB Penggaram, Tangkak ingin menanya selain daripada 4 PBT di kawasan Johor Bahru yang telah disebut oleh YB EXCO tadi, bagaimanakah status terkini atau kegunaan aplikasi untuk pembayaran caj parkir di PBT-PBT di Johor Tengah dan Johor Utara? Adakah ke semua PBT ada aplikasi untuk bayar caj parkir ini dan juga adakah kerajaan berhasrat ataupun Bahagian Kerajaan Tempatan berhasrat supaya ke semua bayaran caj parkir melalui atas talian online atau aplikasi ini digabungkan sekali untuk Johor iaitu mungkin Smart Parking Johor. Begitulah kita percayai dapat memudahkan bukan sahaja pengguna dalam negeri kerana selalunya berlaku pengguna ataupun pemandu susah sangat nak cari kupon parkir fizikal ketika kita merentas ke daerah atau PBT yang berlainan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Betul statement yang dibuat oleh YB Tangkak. Kita di negeri Johor ini nak mencapai ke arah negeri maju pada 2030. Kalau kita lihat Selangor misalnya keseluruhan negeri Selangor itu dah melaksanakan sistem e-PBT Parking. Maksudnya melalui smart telefon. Di Singapura juga sama juga. Mereka boleh parking di satu tempat, boleh pergi ke daerah lain, bershopping jauh daripada 23 kilometer, dia boleh update masa parking itu untuk lambatkan dan sebagainya dan boleh bayar melalui e-sistem PBT ini. Jadi, bila kita berjumpa dengan semua pemain taruh dalam bidang ini, saya tak nak cerita tentang sejarah sebelum inilah. Dan, untuk makluman Yang Berhormat Tangkak, sebelum ini kita ada macam Zon A, dia ada di bawah Metro Parking ya, beberapa Majlis Perbandaran Muar, Batu Pahat, Tangkak, Segamat dan Pontian, ini di bawah Metro Parking Sdn. Bhd.

Di Zon B pula, ada, sebelum ni ada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Kluang, Johor Bahru Tengah, Kulai, Simpang Renggam, Kota Tinggi, Mersing, ini dia gunakan Fajar Able Parking Sdn. Bhd. Jadi di peringkat kerajaan, melihat kaedah ini sudah tidak praktikal. Tetapi, kita masih terikat dengan perjanjian-perjanjian sebelum ini. Sebab itu kita guna Greater JB ni, 3 Bandaraya dengan 1 Majlis Perbandaran Kulai ini adalah permulaan ke arah untuk menyelaraskan 16 PBT. Jadi, kita harap pada tahun hadapan bila task force ini diwujudkan di peringkat Greater JB, kita boleh lihat tak macam sekarang. Di peringkat MBJB kalau sebelah tu Pasir Gudang kita kena ada dua kupon, tambah lagi Iskandar Puteri, tambah lagi MPku jadi dalam kereta tu semua. Ini sudah tidak praktikal. Jadi insya-Allah YB Tangkak, kita kerajaan negeri sudah melihat isu ini dan kita melihat isu ini secara overall 16 PBT seluruh negeri Johor dan kita harap pada masa akan hadapan dia parking kereta kat Tangkak ke, kat Mersing ke, kat Kulai, kita hanya guna ada satu sistem sahaja. Dan, sistem ini kita selaraskan untuk 16 PBT. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada EXCO yang memberi penerangan yang begitu tepat.

Penggaram ingin tahu adakah kerajaan menentukan satu masa, tempoh masa untuk mencapaikan matlamat ini?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Sebenarnya pada dua bulan lepas kita dah berjumpa dengan tiga Datuk Bandar dengan YDP Kulai. Kita dah berbincang. Sebenarnya dalam salah satu Inisiatif Greater Johor ialah kita nak selaraskan parking. Jadi, perjumpaan dan task force pertama sebenarnya telah dibuat dan dibincangkan. Cuma sekarang, sampai masa untuk semak balik perjanjian-perjanjian daripada kontraktor yang sebelum ini. Jadi, kita mungkin akan bincang macam mana, bila tempoh perjanjian ini akan ditamatkan dan sistem parking e-PBT untuk 16 PBT itu akan start mengambil alihlah. Terima kasih.

Speaker

Cuba fikirkan Yang Berhormat bayar parking guna tiktok. Yang Berhormat Bukit Naning, dijemput.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.

Isu pekerja asing yang banyak menimbulkan masalah moral dan keselamatan jalan raya diabaikan. Mohon agar pengusaha kilang diwajibkan mendedahkan mereka tentang peraturan keselamatan jalan raya selain penambahan lampu isyarat di simpang-simpang di mana sering berlaku kemalangan maut.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Naning yang bertanyakan soalan berkaitan dengan isu pekerja asing yang banyak menimbulkan masalah moral dan keselamatan jalan raya diabaikan. Beliau mohon agar pengusaha kilang diwajibkan mendedahkan, mendedahkan mereka tentang peraturan keselamatan jalan raya selain penambahan lampu isyarat dan di simpang-simpang di mana sering berlaku kemalangan maut.

Yang Berhormat Bukit Naning, Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, aduan berkenaan isu pekerja asing berkenaan kacau ganggu sangat banyak diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Hal-hal ini dimaklumkan sendiri oleh Bahagian Penguatkuasa PBT, yang mana sering menjalankan kolaborasi bersama JTK Johor dalam membasmi masalah-masalah kacau ganggu dalam kalangan pekerja asing dengan penduduk tempatan terutamanya di kawasan perumahan pekerja.

PBT yang banyak menjalankan kolaborasi bersama JTK Johor bagi menangani isu kacau ganggu ini adalah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Oleh itu, operasi penguatkuasaan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan yang diterima dan juga pemantauan berkala yang dijalankan. Dan isu-isu kacau ganggu ini kebiasaannya adalah berkenaan bunyi bising, pergaduhan, kebersihan dan lain-lain hal. Data statistik berkenaan isu kacau ganggu ini boleh dirujuk dengan lebih lanjut kepada MPKu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak JTK mengambil maklum dan mengambil perkara ini secara serius. Isu kacau ganggu ini yang berlaku di dalam penginapan pekerja juga. Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah menggariskan bahawa majikan perlu mematuhi kriteria-kriteria yang perlu diambil dalam pemilihan penempatan pekerja asing serta mematuhi peraturan-peraturan undang-undang lain yang berkaitan. Contohnya, undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing. Bagi isu keselamatan jalan raya pula. Jabatan ini percaya, bahawa majikan telah memberikan pengetahuan serta pendedahan kepada pekerja-pekerja berkenaan keselamatan. Keselamatan serta kebersihan tidak terbatas, bukan di tempat kerja sahaja tetapi ia perlu diperluaskan di kawasan penginapan pada

waktu pergi dan pulang dari tempat pekerjaan, serta sekitar tempat pekerjaan. Selain daripada itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial ataupun PERKESO juga telah menyatakan bahawa 2 daripada 3 kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah berpunca daripada kemalangan individu yang berulang alik ke tempat kerja. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ada soalan tambahan? Sedia Paloh? Eh Kahang, minta maaf.

Sebenarnya soalan tambahan saya, sebenarnya berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan pekerja asing ini bukan sesuatu yang baru. Ia berlaku bertahun-tahun. Kita juga sedia maklum bahawa ada banyak undang-undang dan juga enforcement terus dijalankan. Tetapi di negeri Johor ini apakah way forward kita jangka panjang apa tindakan kerajaan negeri bercadangkan untuk menubuhkan foreign workers, membina foreign workers encliff, khususnya di kawasan-kawasan industri supaya kita dapat tempatkan semua pekerja asing di satu kawasan dan ini akan memudahkan kita untuk menjaga supaya isu-isu masalah sosial seperti ini tidak berpanjangan. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih soalan tambahan daripada YB Kahang. Berdasarkan sistem yang kita akan buat untuk makluman YB Kahang juga, menerusi Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga banyak memberikan buah fikiran untuk memastikan keselamatan bukan sahaja pekerja asing, malahan pekerja-pekerja tempatan. Justeru itu, pihak SMI, Strategik Modal Insan telah menjalankan, sedang menjalankan satu program iaitu PEMANDU yang mana semua agensi-agensi akan terlibat urus dalam PEMANDU, dalam mesyuarat 4 tahun sekali untuk menangani masalah-masalah yang kita akan mengetahui setiap kali sidang Dewan ini.

Berdasarkan jawapan atau yang saya boleh dikongsikan ada satu wujud akta peraturan berkaitan yang dikenakan kepada majikan. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, kerajaan melalui PERKESO sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesihatan pekerja orang berinsurans ataupun OB termasuk pekerja-pekerja asing, dengan mengadakan kerjasama strategik bersama majikan, agensi-agensi berkaitan badan-badan kerajaan. Antaranya, adalah melaksanakan 2 program utama iaitu majikan, iaitu advokasi keselamatan jalan raya oleh PERKESO, pejabat PERKESO dengan program sokongan keselamatan jalan raya menerusi majikan dan pekerja yang mempunyai. Soalan yang boleh saya kongsikan juga daripada YB Kahang itu cukup menarik, cuma dalam untuk memastikan penempatan-penempatan pekerja asing itu haruslah saya berbincang dengan pihak PBT untuk memastikan ada kawasan dan Pejabat Tanah untuk penempatan-penempatan warga asing ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Azman bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Berapakah jumlah usahawan di kawasan DUN Tanjung Surat yang telah dilatih melalui program-program di bawah Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan apakah perancangan kerajaan untuk memperkasa ekonomi digital di kawasan luar bandar?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih kepada Tanjung Surat. Yang Berhormat Tanjung Surat bertanyakan tentang jumlah usahawan yang telah dilatih di bawah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam kawasan DUN Tanjung Surat dan perancangan kerajaan dalam memperkasa ekonomi digital di kawasan luar bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seramai 105 orang usahawan digital telah dilahirkan melalui Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), pecahan usahawan mengikut PEDi di DUN Tanjung Surat adalah seperti di Kg. Masjid Teluk Ramunia, 28 orang, Kg. Pasir Gogok, bilangan usahawan ini 32 orang, FELDA Adela, bilangan usahawannya 45 orang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menyokong dan memperkasa ekonomi digital negara, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan usahawan mikro menceburi perniagaan atas talian menerusi platform e-Dagang. Antaranya program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau lebih dikenali dengan PUPUK. PUPUK merupakan kerjasama strategi antara penyedia platform digital syarikat telekomunikasi dan PEDi bagi membantu dan memperkasa usahawan luar bandar untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital.

Yang Berhormat Datuk Speaker, demi menyokong inisiatif tersebut seramai 600 rakan digital PEDi akan dilantik di setiap 600 PEDi yang terpilih bagi membantu usahawan mikro sedia ada serta melahirkan lebih ramai lagi usahawan digital yang baru. Rakan digital PEDi akan menjalankan pelbagai latihan keusahawanan, mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan perniagaan juga akan ditawarkan oleh agensi-agensi luar yang berkaitan.

Selain daripada itu, MCMC juga telah memperkenalkan Pelan Accelerator Kurier Negara atau lebih dikenali PAKEJ yang telah dibentuk berdasarkan rumusan daripada inisiatif makmal industri pos dan kurier negara yang menyasarkan perluasan liputan, peningkatan akses dan fleksibiliti kepada pengguna di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi mendepani ledakan e-Dagang di samping memastikan pertubuhan industri secara lestari dalam era ekonomi digital. PAKEJ juga menyasarkan peningkatan akses kepada perkhidmatan kurier serta liputan dengan mengoptimumkan aset dan infrastruktur terutamanya bagi kawasan-kawasan di luar bandar. PAKEJ juga diterjemahkan melalui inisiatif pusat pungutan dan serahan yang ditempatkan di PEDi. Inisiatif pungutan dan serahan ini akan membolehkan usahawan mikro memanfaatkan PEDi setempat sebagai pusat pungutan produk mereka. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila Tanjung Surat.

Tuan Azman bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat EXCO. Dalam pemerhatian Yang Berhormat EXCO apakah masalah-masalah utama usahawan luar bandar ini untuk mendigitalkan perniagaan mereka dan apakah pembaharuan yang akan PEDI laksanakan untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan usahawan ini? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas soalan tambahan daripada YB Tanjung Surat. Usahawan-usahawan negeri Johor mempunyai pelbagai produk yang unik dan potensi yang besar untuk berjaya. Walau bagaimanapun, para usahawan ini sebenarnya kurang pendedahan mengenai pemasaran yang berkesan. Sebagai contoh pembungkusan produk yang mampu menarik minat pembeli. Jadi, oleh yang demikian, pihak MCMC sentiasa mewujudkan program atau latihan yang dapat membantu meningkatkan kemahiran pemasaran para usahawan-usahawan di luar bandar ini. MCMC juga telah melancarkan pelbagai inisiatif sebenarnya untuk menggalakkan usahawan mikro menceburi perniagaan atas talian menerusi platform e-Dagang antaranya yang saya katakan tadi melalui program pemerkasaan pendigital usahawan kecil yakni PUPUK. PUPUK juga merupakan kerjasama strategik antara penyedia platform digital, syarikat telekomunikasi dan PEDi bagi membantu dan memperkasa usahawan luar bandar untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran para pemerhati, iaitu 16 orang daripada Pejabat ADUN Skudai, 9 orang daripada Pejabat ADUN

Tiram dan 5 orang daripada Pejabat ADUN Buloh Kasap, 5 orang je Yang Berhormat ya. Yang lupa duit kocek ya. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya jemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih. Soalan nombor 4.

Diambil maklum bahawa kawasan Jementah akan diperkembangkan sebagai satu hub pertanian utama di Malaysia. Akan tetapi, para petani mengalami masalah infrastruktur terutamanya jalan dalam kebun. Apakah langkah yang dirancang untuk mengatasi masalah ini?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada ADUN Jementah. Untuk makluman Ahli Dewan, ADUN Jementah membangkitkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah infrastruktur terutama jalan-jalan dalam kebun, terutama dalam kawasan DUN Jementah.

Untuk makluman Ahli Dewan, bagi pembangunan sektor pertanian di seluruh negeri Johor, kerajaan melalui pelbagai jabatan telah menyediakan pelbagai insentif kepada para petani, usahawan serta syarikat swasta dalam membangunkan projek yang diceburi dari mula pembukaan kawasan hingga ke produk hiliran. Jabatan amat menggalakkan para petani dan usahawan dapat memulakan projek terlebih dahulu bagi melihat keseriusan serta komitmen mereka dalam menjalankan projek pertanian. Pengusaha akan terus dibantu oleh Jabatan menerusi program-program yang berkaitan dan salah satu insentif yang diberi adalah penyediaan infrastruktur ladang. Para pengusaha ladang akan dibantu di dalam pembangunan ladang seperti pembangunan sistem pengairan, saliran dan perparitan, pembinaan jambatan atau titi, jalan ladang, penyediaan pagar, pembinaan bangsal kompos serta pembinaan stor bahan input.

Bagi pembinaan jalan ladang dalam satu lot kawasan projek yang diusahakan insentif yang diberikan bergantung kepada keluasan yang terlibat mengikut perkadaran insentif. Dan biasanya maksimum adalah RM20,000.00 per hektar. Untuk makluman Yang Berhormat pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau KPLB dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor ada menyediakan peruntukan bagi membina, menaik taraf dan membaiki jalan ladang dan infrastruktur di kawasan luar bandar. Pada tahun 2022, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Johor telah memperuntukkan sejumlah RM12.18 juta bagi melaksanakan 188 projek jalan perhubungan desa di semua daerah dalam negeri Johor meliputi jalan sepanjang 517.44 km. Perincian jalan perhubungan desa mengikut daerah adalah seperti berikut:

Batu Pahat, 38 projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.294 juta. Johor Bahru 1 projek, dengan peruntukan RM130,000.00, Kluang 12 projek, dengan peruntukan RM1.39 juta, Kota Tinggi 1 projek bernilai peruntukan RM20,000.00, Kulai 7, peruntukan dengan nilai peruntukan RM480,000.00, Mersing 5, RM420,000.00, Muar 51 projek dengan peruntukan RM3,431,000.00, Pontian, 17 projek dengan nilai RM570,000.00, Segamat, 27 projek dengan nilai RM2,400,000.00 dan Tangkak 29 projek dengan nilai RM1,025,000.00.

Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, pada tahun 2022 sebanyak 4 projek telah dilaksanakan di kawasan Jementah iaitu yang pertama kerja menaik taraf Jalan Tukiman, Kg. Sengkang Legih, Mukim Jementah, dengan nilai RM50,000.00. Yang kedua, kerja-kerja menaik taraf Jalan Siti Ngaisah, Kg. Paya Lebar dengan nilai RM50,000.00. Ketiga, kerja-kerja membina jalan darat Kg. Permatang Panjang, Mukim Jementah dengan nilai RM50,000.00 dan keempat kerja-kerja menaik taraf Jalan Kurung, Kg. Atong, Mukim Jementah dengan nilai RM100,000.00.

Manakala Jabatan Pengairan Saliran Negeri Johor telah melaksanakan 242 projek di negeri Johor dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM31.45 juta merangkumi, pertama projek lintas jalan ladang bernilai RM1.98 juta melibatkan 9 projek, yang kedua projek infrastruktur pengairan saliran pertanian dan asas tani dengan nilai RM4.67 juta melibatkan 16 projek dan ketiga, projek penyelenggaraan jalan luar bandar dengan nilai RM24.8 juta melibatkan 217 projek.

Dan merujuk kepada soalan Yang Berhormat Jementah melalui peruntukan di bawah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) pula, hampir RM1.8 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 20 projek infrastruktur di Jementah, termasuklah kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan sistem pengairan dan saliran serta kerja-kerja membaiki jalan ladang. Terdapat 4 projek-projek pembaikan jalan ladang dan kawasan dalam kawasan Jementah iaitu :-

1. Kerja-kerja membaiki jalan ladang serta kerja-kerja membaiki berkaitan di Kampung di Kuala Sg Siput, Mukim Jementah dengan nilai RM69,000.00.

2. Kerja-kerja membaiki jalan ladang serta kerja-kerja berkaitan di Ulu Jementah, Mukim Jementah dengan nilai RM140,740.00.

3. Kerja-kerja membaiki jalan ladang serta kerja-kerja berkaitan di Danau Batang, Mukim Jementah dengan nilai RM135,750.00.

4. Kerja-kerja membaiki jalan ladang serta kerja-kerja berkaitan di Seleong, Sengkang Mukim Jementah dengan nilai RM144,450.00.

Dan jumlah keseluruhan bagi empat kerja ini ialah sebanyak RM490,030.00. Manakala bagi projek penyelenggaraan sistem atau sungai dalam kawasan DUN Jementah pula sebanyak 14 projek telah dilaksanakan sepanjang 2022 iaitu dengan nilai peruntukan RM1,250,000.00. Saya ada senarai yang 14 ini, jadi saya tak perlulah senaraikan. Saya akan beri secara bertulis kepada ADUN Jementah.

Kesimpulannya Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui jabatan-jabatan berkaitan sentiasa cuba untuk membantu petani, pekebun dan masyarakat luar termasuk dalam memastikan kemudahan mengeluarkan hasil-hasil ladang dan pertanian mereka. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila, Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih. Soalan tambahan saya, apakah inisiatif atau pun langkah untuk mengatasi masalah banjir terutama petani sudah mengalami kerugian dan mungkin tidak mampu untuk membela balik tanaman yang musnah? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah banjir di Segamat adalah antara masalah utama terutama bagi mereka yang menjalankan kerja pertanian, perladangan dan penternakan. Kita ucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana telah cuba untuk menyelesaikan isu ini melalui pembinaan tebatan banjir sebelum ini. Tetapi, berkenaan dengan kerosakan yang dialami oleh petani dan pekebun termasuk penternak, mereka boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian tempatan dan melaporkan kerosakan dan saya difahamkan usaha untuk membaiki atau membayar balik atau bekal balik berkaitan dengan kerosakan ini, sedang dan telah pun dijalankan oleh Jabatan Pertanian, Veterinar dan sebagainya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Endau No. 5.

Nyatakan setakat tahun 2022, berapa ramaikah penerima bantuan bulanan MAIJ dalam kawasan DUN Endau dan berapa banyak buah rumah yang telah dibina, sedang dibina, akan dibina dan diluluskan di bawah bantuan MAIJ.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Endau atas soalan yang diberikan. Endau bertanya kepada saya, berapakah ramai penerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi tahun ini untuk kawasan Endau dan berapa pula banyak rumah bawah program asnaf yang telah dibina dan juga diluluskan.

Majlis Agama Islam Negeri Johor menyediakan bantuan yang meliputi 3 jenis bantuan iaitu bantuan sara hidup bulanan, bantuan perubatan bulanan dan juga bantuan rawatan hemodialisis. Bantuan ini disalurkan kepada penerima sama ada melalui akaun penerima, hadir sendiri di kaunter Majlis Agama Islam Negeri Johor daerah dan juga serahan rumah bagi yang uzur. Menjawab soalan YB Endau. Bagi DUN Endau seramai 1,165 orang sedang menerima bantuan bulanan ini dengan perbelanjaan RM4,191,240.00 setahun.

Saya bacakan Yang Berhormat Speaker, jumlah penerima bantuan MAINJ bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Endau.

1. Bagi senarai bantuan sara hidup bulanan, penerima seramai 1,003 orang dengan agihan bulanan berjumlah RM272,530.00 yang menjadikan agihan tahunannya RM3,270,360.00.

2. Bagi bantuan perubatan bulanan,153 orang penerima di Endau. Ia memberi impak agihan bulanan sebanyak RM49,400.00, manakala agihan tahunan RM562,800.00.

3. Bagi bantuan rawatan hemodialisis, 22 orang penerima bagi DUN Endau. Agihan bulanannya sebanyak RM53,937.00. Manakala tahunan berjumlah RM647,244.00. Secara jumlah keseluruhan Yang Berhormat Datuk Speaker, Endau merekodkan 1,160 orang penerima yang melibatkan agihan bulanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM375,867.00, manakala agihan keseluruhan tahunan bagi kesemua penerima berjumlah RM4,510,400.04.

4. Bagi bantuan bina rumah pula, Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak 21 orang telah menerima bantuan bina baru bagi kawasan Endau. 21 orang ini melibatkan kelulusan di antara tahun 2015 hingga 2020. Namun, mengikut rekod kami bagi tempoh 2 tahun terakhir iaitu tahun 2021 hingga tahun ini 2022 tiada permohonan baru yang diterima.

Antara isu utama yang menjadi kekangan permohonan baru perumahan ini ialah :-

1. Permohonan tidak mempunyai tanah sendiri untuk dijadikan rumah.

2. Status tanah yang dikemukakan ini tidak jelas seperti menumpang atas tanah orang lain, kediaman di atas tanah rezab kerajaan, atau pun berstatus setinggan.

3. Gagal mengemukakan surat akuan bersumpah bagi kebenaran membina rumah di atas milik orang lain.

4. Pemohon memiliki tanah pusaka yang berkongsi nama dengan penama lain, namun tidak mendapatkan persetujuan waris-waris yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, makan durian di Kampung Batu 6, Soalan saya nombor 6.

Apakah tindakan Kerajaan Negeri Johor dalam mengupayakan dan memperkasakan ibu-ibu tunggal dalam bidang tenaga kerja bagi membantu mereka menanggung dan menguruskan kehidupan keluarga mereka khususnya di DUN Penawar?

Speaker

Mana ada durian lagi? Sila, Yang Berhormat.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Penawar. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Penawar bertanyakan tentang tindakan Kerajaan Negeri Johor dalam mengupayakan dan memperkasakan ibu-ibu tunggal dalam bidang tenaga kerja bagi membantu mereka menanggung dan menguruskan kehidupan keluarga mereka khususnya di DUN Penawar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sedia maklum bahawa kerajaan negeri Johor melalui jabatan–jabatan di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat sentiasa komited dalam menyantuni golongan wanita. Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor (JPW) banyak melaksanakan program memperkasakan wanita termasuk ibu tunggal melalui program 4K, kemahiran, keseimbangan, kewangan dan kesaksamaan dan kepimpinan kendiri yang dilaksanakan sepanjang tahun. Program-program ini mendidik golongan wanita untuk berdikari, menjana pendapatan agar mampu menjadi sumber pendapatan keluarga.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim juga menyediakan pelbagai inisiatif bagi peningkatan pendapatan terutamanya golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah melalui beberapa siri program iaitu :

1. Projek Skil Menjana Pendapatan Wanita atau lebih dikenali dengan izin, Womens Income Generating Skill Project (WINGS).

2. Skim bantuan peralatan perniagaan.

Melalui projek kemahiran menjana pendapatan wanita, yang memfokuskan kepada peningkatan kemahiran kepada golongan sasar dan pemberian bantuan peralatan perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil dan usahawan home-based business, dengan izin terutamanya kepada ibu tunggal, belia dan wanita B40. Program ini telah mula dilaksanakan tahun 2003, di mana melibatkan lebih 10,607 peserta bagi WINGS dan seramai 1,112 penerima manfaat bagi bantuan alat perniagaan.

Sehingga kini, seramai 2,262 peserta dan 655 peserta telah berjaya menjana pendapatan mereka daripada 10% sehingga 1600% daripada pendapatan asal mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bermula tahun 2022 Yayasan Pembangunan Keluarga telah memperluas golongan sasar kepada golongan belia dan OKU selain golongan wanita dan ibu tunggal. Yayasan Pembangunan Keluarga juga akan membuat kajian keberkesanan program dan memantau prestasi perniagaan mereka bagi melihat sejauh mana program ini relevan dan perlu diteruskan di masa akan datang.

Lain-lain program, Yang Berhormat Datuk Speaker, Yayasan Pembangunan Keluarga juga telah menjalankan pelbagai program bagi membantu ibu tunggal sama ada dalam aspek peningkatan ekonomi, mahupun mengehakupayakan mereka bagi meningkatkan potensi diri mereka.

Bagi tahun 2021 dan 2022, Yayasan Pembangunan Keluarga telah menjalankan beberapa program dengan kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan penyertaan ibu tunggal khususnya di DUN Penawar, antaranya Webinar Kesihatan Mental 2021 dan Program Sokongan Moral 2021 di bawah inisiatif Mind-X yang merupakan program yang membincangkan tentang tips menjaga kesejahteraan psikologi ibu tunggal. Menyelami dan menyantuni ibu tunggal dan rakyat Johor yang kehilangan keluarga akibat COVID-19.

1. Program Jelajah Mind-X 2022 juga merupakan kesinambungan usaha ini. Program-program ini juga dijalankan bagi menyalurkan alternatif bantuan kewangan dan lain-lain perkhidmatan kerajaan negeri Johor daripada pelbagai jabatan dengan membantu golongan sasar, Program Jelajah Mind-X 2022.

2. Program Saksama bersama Wanita Johor 2022. Sempena Sambutan Hari Wanita 2022 bagi meningkatkan motiviasi dan memberi inspirasi kepada golongan wanita terutamanya ibu tunggal dengan sesi perkongsian, pengalaman, inspirasi, aspirasi dan ilmu pengetahuan bagi menggunakan sepenuhnya potensi diri membangun dan memajukan bangsa dan negara.

3. Rancangan Kerajaan Negeri Johor melalui Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor 2022 hingga 2031. Yayasan Pembangunan Keluarga dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia dan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah membina sebuah pelan tindakan pemerkasaan wanita negeri Johor. Pelan ini juga akan diedarkan kepada agensi-agensi berkenaan bagi makluman rujukan dan tindakan dalam mencapai hala tuju, strategi dan sasaran bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan wanita menjelang 2030.

Lain-lain perancangan Yayasan Pembangunan Keluarga akan memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak atau institusi kemahiran, dalam memberikan dengan izin, knowledge transfer. Selain itu, Yayasan Pembangunan Keluarga akan memperluas jaringan kerjasama bersama agensi dan badan berkaitan Pembangunan Usahawan Johor dalam membantu dan menjadi pemudahcara kepada golongan ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah mengembangkan perniagaan home-based business, dengan izin sedia ada.

Yayasan Pembangunan Keluarga juga menyediakan platform Baazar Suri bagi memasarkan produk mereka. Yayasan Pembangunan Keluarga juga melaksanakan kursus inspirasi usahawan berfokus turutlah dilaksanakan. Sehingga kini seramai 270 usahawan telah dikenal pasti berpotensi tinggi untuk terus dibantu dan dibimbing. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila, Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas penjelasan dan jawapan yang begitu padat sekali. Soalan tambahan saya, berapakah peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk golongan wanita khususnya suri rumah dan ibu tunggal dalam kategori B40 untuk meningkatkan ekonomi mereka melalui peniagaan kecil-kecilan bagi tahun 2022 dan apakah perancangan beliau untuk tahun 2023?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Ada 2 jawapan dari 2 soalan. Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga terdapat 2 program khusus

untuk wanita terutamanya golongan B40 dan ibu tunggal. Ianya merupakan core business, Yayasan Pembangunan Keluarga iaitu Program Skill Menjana Pendapatan atau dengan izin, Womens Income Generating Skill dan Skim Bantuan Peralatan Perniagaan atau lebih dikenali dengan SKIPP. Peruntukan bagi kedua-dua program ini bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM630,000.00 manakala WINGS atau lebih dikenali dengan Skil Menjana Pendapatan adalah sebanyak RM130,000.00 dengan menyasarkan 400 orang penerima manfaat. Manakala Skim Bantuan Peralatan Perniagaan pula menyasarkan seramai 170 orang penerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00.

Perancangan bagi tahun 2023 pula seperti yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz pada 1 Disember 2022 yang lalu dalam Belanjawan 2023, sejumlah RM900,000.00 diperuntukkan bagi Program Pembudayaan Wanita dan golongan sasar untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pendapatan seterusnya mampu berdikari dengan bimbingan secara berterusan dengan sasaran 1,500 wanita dan golongan sasar B40 mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang sentiasa mengambil peduli akan kesejahteraan keluarga yang melibatkan wanita dan keluarga. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Jementah, sekali lagi.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih. Soalan nombor 7.

Populasi di Segamat yang berusia antara 18 - 40 adalah semakin meningkat. Akan tetapi, masih tiada pusat sukan di dalam bandar ini. Adakah pihak JTK Sukan mempertimbangkan untuk membina satu pusat sukan dalam bandar ini?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih YB Jementah. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat sidang Dewan yang mulia. Soalan daripada YB Jementah, populasi di Segamat yang berusia antara 18 - 40 semakin meningkat. Akan tetapi, masih tiada pusat sukan di dalam bandar ini. Adakah pihak Jawatankuasa Sukan mempertimbangkan satu pusat sukan dalam bandar ini?

Yang Berhormat Datuk Speaker semestinya kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi menekankan Orang Muda Johor mesti didahulukan. Apatah lagi generasi belia adalah yang terbesar setakat hari ini. Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, dalam rekod Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, terdapat 19 buah gelanggang futsal di dalam daerah Segamat. Buat masa ini, Kementerian Belia dan Sukan tiada perancangan untuk pembinaan baru Kompleks Sukan di dalam kawasan DUN Jementah. Walau bagaimanapun, permohonan boleh dipanjangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk dipertimbangkan lanjut.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat Jementah, sebagaimana yang pernah dinyatakan sebelum ini, inisiatif pembinaan TMIYC di setiap daerah menjelang 2027 merupakan satu daripada KPI yang ditetapkan di bawah portfolio saya. Menerusi inisiatif ini satu cadangan sudah dikemukakan kepada pihak saya bagi pembinaan sebuah Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Lot 740 berhampiran Taman Batu Hampar, Segamat yang membabitkan satu kawasan seluas 2,058 hektar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, justeru setiap cadangan dan pembinaan TMIYC ini di setiap daerah termasuk di Segamat akan saya ikuti dari semasa ke semasa serta dimaklumkan perkembangan kepada umum.

Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, saya, pejabat saya juga sudah berhubung dengan pejabat Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik bagi tujuan

menetapkan satu tarikh pertemuan dan mengadakan perbincangan hala tuju pembangunan belia dan sukan khususnya di negeri Johor. Pastinya, saya akan membentangkan dan memaklumkan setiap perancangan negeri Johor khususnya Agenda Orang Muda kepada Yang Berhormat Menteri yang baru. Dan, kerajaan negeri mengharapkan kerajaan persekutuan dapat membantu dan menyalurkan peruntukan berkaitan sama-sama bagi Bangsa Johor untuk mendapatkan manfaat daripada setiap inisiatif yang kita rancangkan selama ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, pada MSSJ pada Julai yang lepas, pemain badminton di Segamat sudah memenangi 3 pingat emas bagi peringkat umur bawah 12 dan 18. Jadi, soalan tambahan saya, adakah sebarang peruntukan bagi pasukan ataupun pemain badminton ini untuk menganjurkan pertandingan persahabatan dengan pemain luar negara bagi mempertingkatkan kemahiran mereka supaya boleh bertanding di peringkat yang lebih atas. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih soalan tambahan daripada Jementah. Pastinya siapa yang tak suka anak-anak daripada Johor bertanding di peringkat antarabangsa mahupun peringkat kebangsaan. Dan, sebab itulah setiap negeri mempunyai satu jabatan yang menjaga hal ehwal sukan, atlet-atlet, semestinya Majlis Sukan Negeri Johor telah merancangkan ataupun telah merencanakan untuk atlet-atlet mahupun program-program bertaraf kecil sehinggalah besar. Sehubungan dengan itu, dari segi soalan Jementah ini berkaitan dengan atlet, saya minta Jementah berikan ruang kepada Majlis Sukan Negeri Johor untuk memastikan atlet daripada Jementah itu terus dibantu oleh Majlis Sukan Negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 8. Terima kasih.

Apakah perancangan kerajaan negeri Johor mengenai permintaan saya agar kelulusan PBT luar yang buang sampah di Tapak Pelupusan Sampah MDL dibatalkan?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih kepada YB Bekok. Soalan yang dibangkitkan oleh YB Bekok ialah apakah perancangan kerajaan negeri Johor mengenai permintaan YB Bekok agar kelulusan PBT luar yang buang sampah di Tapak Pelupusan Sampah MDL dibatalkan?

Yang Berhormat Datuk Speaker, tapak pelupusan sampah atau TP Jalan Maokil, Labis mula digunakan oleh Majlis Daerah Yong Peng pada Julai 2007 dengan semua kos ditanggung oleh Majlis Daerah Yong Peng. Setelah TP atau Tapak Pelupusan Sri Wangi ditutup, bermula September 2011, TP Jalan Maokil telah digunakan bersama dengan Majlis Daerah Yong Peng dan Majlis Daerah Labis setelah TP Tepayuh ditutup. Seterusnya pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara atau JPSPN, ini adalah satu jabatan di bawah KPKT di peringkat pusat telah mengarahkan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) supaya mengalihkan sisa pepejal ke TP Jalan Maokil bermula April 2020 sehingga ke hari ini.

Pihak JPSPN tidak bercadang untuk membatalkan atau mengalihkan penghantaran sisa pepejal ke TP Jalan Maokil pada ketika ini. Namun, jangka hayat TP Jalan Maokil adalah sehingga tahun 2025. Namun berdasarkan perancangan semasa, tapak pelupusan Maokil akan ditutup, selamat dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan akan digantikan dengan sebuah stesen pemindahan di mana fasiliti ini akan bertindak sebagai Pusat Pengumpulan Sisa Pepejal sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Bukit Payung, Batu Pahat pada masa akan datang. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tangkak tertarik dengan hayat jangka untuk tapak pelupusan sampah di Johor ini. Sepertimana yang dimaklumkan oleh YB EXCO tadi, tapak pelupusan sampah di Jalan Maokil juga akan penuh atau tidak mampu lagi untuk menerima sampah pada tahun 2025. Di negeri Johor ini, Tangkak rasa sekarang masih ada 8 atau 9 tapak pelupusan yang masih beroperasi. Tetapi mengikut rekod atau pengumuman daripada SW Corp tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan juga di Jemaluang, Mersing juga akan tamat tempoh dalam tempoh masa 2 tahun iaitu mungkin pada 2024.

Dan, memandangkan tapak pelupusan sampah yang lain telah pun penuh, jadi soalan tambahan dari Tangkak adalah pertama, apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Johor supaya tapak-tapak pelupusan sampah di negeri Johor terutama bagi tapak pelupusan sampah yang telah penuh ataupun yang telah ditutup seperti TPS di Bekok, Tangkak, TPS di Bukit Bakri, Muar dan juga CEP, CEP di Simpang Renggam itu yang telah tutup antara tahun 2018 hingga 2020 itu dapat dipulihkan?

Sebelum ini kerajaan negeri pada tahun 2021 pernah mengumumkan akan membina satu, apa tu pusat untuk mengurus sisa pepejal dengan teknologi WTE, katakan Perbandaran Darul Ta’zim akan mengeluarkan dana sebanyak RM600 juta. Akan bina di Seelong, jadi apakah status sekarang? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Panjang soalan YB. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Datuk Speaker, bila sebut tentang JPSPN, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, dia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Itu yang pertama. Struktur di peringkat KPKT, KPKT ini struktur dia, atas KPKT, di bawah dia ada JPSPN tadi, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan cabang lagi satu ialah SWCorp. Dan di bawah SWCorp sebagai pemantau, bawah dia ada SWM. Sebab itu bila bercakap tentang isu sampah, isu longkang, isu pembersihan, sebenarnya PBT tidak mempunyai kuasa untuk membuat pembatalan dan sebagainya pasal kuasa itu dan telah diturunkan dalam Akta 674 di bawah SWCorp sebagai Pengawas dan SWM sebagai Operatornya. Ini pertama yang kita kena faham.

Bila sebut ya banyak di peringkat TPS, tapak pelupusan sampah yang akan ditutup, di peringkat KT, Kerajaan Tempatan kita ada senarai keseluruhan, bila satu-satu TPS akan ditutup. Dan perkara ini telah juga disampaikan di peringkat JPSPN untuk perancangan pada masa akan datang. Tapi, untuk makluman YB Tangkak, setakat ini sistem pelupusan sampah pepejal ini masih lagi berjalan seperti biasa di seluruh negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput... Pemanis nak tanya soalan tambahan? Silakan.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Ya, betul. Terima kasih Datuk Speaker. Soalan berkenaan sampah ini memang agak penting kerana hari ini untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan telah memberikan satu akta iaitu menghalang, bukan menghalang, untuk tidak memberikan kepada mana-mana PBT untuk menguruskan sampah berkaitan dengan kawasan industri. Jadi ada beberapa kawasan industri terutamanya industri kecil, kalau industri yang besar mereka akan menguruskan sampah ini menggunakan syarikat swasta. Tapi apabila ada kawasan-kawasan kilang, kawasan industri yang kecil ini kebanyakannya mereka tidak dapat menguruskan sampah dengan baik. Maka sampah-sampah ini ada yang telah dibuang secara haram. Jadi, boleh tak di peringkat kerajaan negeri melalui PBT-PBT yang ada dalam kerajaan negeri ini mengarahkan supaya mana-mana kawasan-kawasan industri ini turut menyediakan kawasan pelupusan sampah yang diuruskan pihak swasta, diwajibkan. Jika tidak, mereka ini mungkin akan membuang sampah secara haram dan secara tidak langsung ia akan turut

menyusahkan PBT-PBT yang ada dalam negeri Johor. Itu soalan saya, terima kasih Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB. Kita di peringkat kerajaan negeri tahu tentang isu yang dibangkitkan di mana dalam kawasan industri besar atau industri kecil, biasa yang menguruskan sisa pepejal ini atau sampah sarap ini adalah industri itu sendiri. Dia membayar kepada sektor swasta. Isu ini kita akan lihat bagaimana di peringkat kerajaan negeri boleh mencadangkan di peringkat KPKT supaya perkara ini boleh diperhalusi, cuma saya nak fahamkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini bahawa, di peringkat PBT tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam urusan yang melibatkan JPSPN, pasal dia di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan atau KPKT. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Yang Berhormat Datuk Speaker, JDT menang Piala Liga Super 9 kali. Soalan Parit Yaani nombor 9. Adakah kerajaan negeri akan membantu untuk menyelenggara dan menaik taraf fasiiti sekolah-sekolah kerajaan di kawasan DUN Parit Yaani yang memerlukan penaiktarafan selari dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang merupakan sebahagian daripada usaha KPM ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat Parit Yaani atas soalan yang diberikan. Yang Berhormat Parit Yaani bertanyakan tentang kesediaan pihak kerajaan dalam membantu menyelenggara dan menaik taraf fasiliti sekolah-sekolah kerajaan di kawasan DUN Parit Yaani yang memerlukan penaiktarafan selari dengan Program Transformasi Sekolah 2025 atau lebih dikenali dengan TS25. Sebagai makluman Yang Berhormat setakat ini semakan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor mendapati sebanyak 21 bilangan sekolah yang terletak di dalam kawasan DUN Parit Yaani, dan dalam kategori berikut: - Sekolah menengah kerajaan sebuah, sekolah rendah kerajaan; 14 buah, sekolah rendah bantuan kerajaan 6 buah. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa berusaha dari semasa ke semasa memenuhi keperluan penyelenggaraan infrastruktur pendidikan di DUN Parit Yaani untuk dilaksanakan secara berterusan mengikut kelulusan peruntukan yang diterima oleh jabatan bagi memastikan persekitaran kondusif disediakan kepada murid sekolah selari dengan program TS25. Jadi sepanjang tahun 2022 ini, sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan diterima bagi tujuan penyelenggaraan sekolah-sekolah di DUN Parit Yaani, termasuk pembinaan sebuah dewan terbuka di SK Bukit Rahmat. Jabatan Pendidikan Negeri Johor juga dalam rangka tindakan untuk mengenal pasti keperluan penyelenggaraan melibatkan keseluruhan infrastruktur pendidikan di negeri Johor ini bagi tujuan permohonan peruntukan penyelenggaraan bagi tahun 2023 nanti. Jadi sekolah-sekolah dalam DUN Parit Yaani yang telah menerima peruntukan bagi tahun 2022, Sekolah Kebangsaan Bukit Soga, Sekolah Kebangsaan Seri Beroleh, Sekolah Kebangsaan Seri Telok, Sekolah Kebangsaan Tenaga Sepakat, Sekolah Kebangsaan Seri Bengkal, Sekolah Kebangsaan Bindu, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat, Sekolah Kebangsaan Seri Binjai, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Buluh, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hua Min, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hua Nan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Li Chun, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sin Hwa, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tong Kang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yen Yi, Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Sulaiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Putra, yang mana jumlah peruntukan ini telah diterima bagi tahun 2022. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat EXCO, saya dikesempatan ini ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih juga kepada YB EXCO Johor Lama, khususnyalah kerana usaha menyegerakan proses ulasan daripada Pejabat Pelajaran Negeri Johor berkenaan permohonan baru Sekolah Menengah Putera Jaya, Parit Yaani, terima kasih. Soalan tambahan saya, apakah perancangan kerajaan negeri dalam memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru ataupun PIBG sekolah bagi membantu melestarikan pembangunan modal insan, pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah kita?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam usaha yang berkesan membantu aktiviti bagi merealisasikan perancangan sekolah di samping bertindak sebagai wadah atau forum dan khidmat bakti untuk kemajuan pembangunan ke arah kemenjadian murid serta sekolah khususnya. Jadi, antara program memperkasakan PIBG yang telah pun dilaksanakan melalui Jabatan Pendidikan sesi libat urus memberi kefahaman dan memperkasa peranan YDP PIBG itu sendiri, di sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor sesi yang pertama telah berlaku pada 28 Januari 2022 di SJK (C) Chung Hwa 2, Kluang; sesi kedua 12 Februari 2022 di SKJ (C) Foon Yew 1, Johor Bahru. Sesi bimbingan JPN Johor dan Pejabat Pendidikan PPD kepada AJK PIBG juga fokus untuk negeri Johor bermula bulan Januari hingga Mac untuk tahun 2023 nanti.

Selain daripada itu, bagi memperkasakan lagi PIBG ini, mempergiat dan memantapkan aktiviti Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa iaitu KSIB sekolah-sekolah negeri Johor bawah kelolaan PIBG untuk sepanjang tahun 2023 nanti. Program perkongsian pintar menerusi penglibatan ibu bapa komuniti dan swasta PIBKS untuk memperkasa peranan PIBG membantu aktiviti dan kemudahan murid dalam aspek sumber kewangan, tenaga, idea dan inovasi ke arah sekolah yang berkualiti. Melaksanakan program kolaboratif melalui jaringan dan jalinan pendidikan bersama dengan semua pihak berkepentingan merangkumi pemimpin setempat, alumni pihak swasta dan korporat, program kesedaran kepada semua ibu bapa sebagai anggota PIBG tentang peranan dan kerjasama mereka membantu murid sekolah secara aktif dan berfokus. Jadi segala aktiviti dan program-program itu akan berlaku, insya-Allah bagi sepanjang tahun 2023.

Selain daripada itu, sesi bimbingan dan bengkel kemahiran keibubapaan mendidik anak-anak melibatkan juga YDP PIBG, NYDP PIBG dan ahli PIBG. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, adalah menjadi hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor juga untuk memperkukuhkan peranan dan fungsi PIBG di setiap sekolah termasuklah, memperkukuhkan hubungan dan kerjasama erat bersama alumni di setiap sekolah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput YB Kemelah.

Salam Maju Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 10. Terima kasih.

Apakah status terkini berkaitan permohonan perumahan bersepadu generasi kedua bagi fasa 2 di FELDA Redong 1?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmaannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Kemelah. YB Kemelah membangkitkan isu berkenaan permohonan bersepadu generasi kedua bagi fasa 2 FELDA Redong 1. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Dewan, lot kediaman bagi generasi baru fasa 1 FELDA Redong 1 telah diluluskan oleh MMK pada 2018 untuk 175 lot dan telah dikurniakan hakmilik pada 17 Oktober 2019. Sebanyak 116 lot dan sebahagian daripada lot tersebut telah dibina rumah oleh generasi kedua yang telah menerima pemilikan

tanah. Sehingga kini kawasan yang kosong dan kawasan Seksyen 6 terdapat di FELDA Redong 1 hanya tingga 8 hektar sahaja untuk dimajukan.

Mengenai status permohonan perumahan bersepadu generasi kedua, fasa 2 FELDA Redong 1, seperti yang dibangkitkan YB Kemelah, ianya masih di peringkat awal bagi permohonan semula. Ini kerana permohonan asal oleh jawatankuasa bertindak yang mewakili generasi kedua FELDA Redong 1, yang telah membuat permohonan tidak mendapat sokongan FELDA atas dasar permohonan yang dipohon bagi membuat rumah kediaman adalah di atas tanah pertanian di bawah Seksyen 5, DSA Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960.

Untuk makluman Ahli Dewan Seksyen 5 DSA adalah tanah di kawasan penempatan luar bandar atau ladang FELDA, manakala yang boleh dipertimbangkan oleh FELDA adalah Seksyen 6 DSA, iaitu kawasan penempatan kediaman. Untuk makluman Yang Berhormat juga, FELDA telah mengeluarkan satu garis panduan pemberian lot kediaman kepada generasi baru FELDA yang berkuatkuasa pada 15 Mac 2022. Garis panduan ini merupakan satu rujukan utama kepada proses permohonan dan kelulusan skim pemberimilikan lot kediaman kepada generasi baru FELDA yang mana akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Bertindak di seluruh negara. Garis panduan ini juga sebagai kesinambungan kepada Dasar Perumahan dalam kawasan FELDA yang telah diumumkan di dalam RMK-12 yang memperkenalkan semula model pembangunan perumahan generasi baru FELDA berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi yang layak. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Bukit Naning. Saya jemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 11.

Apakah rancangan jangkamasa panjang kerajaan untuk memajukan bidang sukan di negeri Johor dan jenis-jenis apakah yang diberikan fokus keutamaan oleh kerajaan buat masa kini?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Penggaram di atas soalan yang diberikan. Apakah rancangan jangkamasa panjang kerajaan untuk memajukan bidang sukan di negeri Johor dan jenis-jenis apakah diberikan fokus keutamaan oleh kerajaan buat masa ini? Soalan yang cukup baik dan sentiasa memahami kehendak-kehendak sukan dan memperkasakan lagi sukan negeri Johor, terima Yang Berhormat Penggaram.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Penggaram, kerajaan negeri Johor menerusi Majlis Sukan Negeri Johor sedang giat memperkasakan persatuan-persatuan sukan di negeri Johor dengan kaedah penyediaan persatuan-persatuan bagi menggalakkan persatuan bergiat aktif dalam dalam pembangunan sukan, penganjuran dan tadbir urus persatuan yang lebih bersistematik. Selain itu kerajaan negeri Johor menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah melaksanakan program jangka masa panjang Yang Berhormat Penggaram, iaitu program Great 2030 dengan memilih 4 jenis sukan iaitu sukan renang, berbasikal, olahraga dan karate, bagi pelaksanaan pembangunan jurulatih dan atlet lebih fokus. Pemilihan 4 jenis sukan ini adalah kerana sukan tersebut merupakan sukan teras di mana sukan ini adalah sukan wajib dipertandingkan di Sukan Malaysia, ataupun SUKMA. Malah sukan ini juga menawarkan jumlah pingat yang banyak bagi setiap kali penganjuran SUKMA.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hasil yang positif dapat dilihat pada temasya SUKMA 2022. Alhamdulilah, yang mana sukan-sukan ini mempunyai pencapaian memberangsangkan dalam menyumbang pingat kepada Kontijen Negeri Johor. Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen ini hingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan sekaligus mencipta sejarah baru

negeri Johor iaitu buat pertama kalinya menjulang kejuaraan selepas 36 tahun penyertaan sukan ini. (Dewan bertepuk).

Menerusi Program Grid 2030, dapat dilihat perkembangan yang sangat positif dari segi peningkatan jumlah Pool of Athlete, dengan izin. Ini menunjukkan dan merujuk kepada penganjuran Rise Up Game yang dianjurkan khas bagi 4 sukan tersebut. Jika sebelum ini, jumlah atlet yang berpotensi dalam 4 sukan ini tidak melebihi 500, namun begitu, selepas program ini diperkenalkan dan tumpuan diberikan terdapat peningkatan diperkenalkan dan tumpuan diberikan. Peningkatan ini sangat-sangat memberangsangkan apabila penyertaan kejohanan Rise Up Game yang dilaksanakan menerima jumlah atlet penyertaan seramai 1,200 orang.

Usaha ini adalah sebagai langkah memajukan sukan di negeri Johor serta memfokuskan kepada sukan tertentu di samping membantu sukan-sukan lain selain 4 sukan yang dinyatakan. Terima kasih Yang Berhormat YB Pengerang yang menanyakan soalan ini. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya, jemput Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Terima kasih kepada Datuk Speaker. Untuk makluman Dewan ini, daerah Batu Pahat mempunyai prestasi yang baik di bidang hoki, menembak dan aerobik. Jadi, bagaimana kita dapat mengekalkan dan memperkasakan bidang sukan ini supaya ia terus maju jaya di Batu Pahat?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih YB Penggaram yang berikan soalan Batu Pahat mempunyai potensi kepada sukan menembak dan hoki. Kita sedia maklum, bukan daerah Batu Pahat sahaja yang berpotensi sukan-sukan ini, malahan di 10 daerah sekarang, Majlis Sukan Negeri Johor sedang giat untuk mengaktifkan semua atlet-atlet daripada peringkat negeri Johor yang mana sudah bermulanya untuk mengasah bakat bagi sukan tahun SUKMA 2024, mencungkil bakat daripada sekolah lagi, kerana sedia maklum YB Penggaram, Sukan SUKMA atletnya yang berusia 21 tahun ke bawah dan Majlis Sukan Negeri Johor sedang giat menjalankan mencungkil bakat daripada sekolah-sekolah menengah mulai tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, bagi memperkasakan sukan hoki dan sukan menembak ini, Majlis Sukan Negeri Johor baru sahaja selesai semalam bersama 35 persatuan-persatuan membuat bengkel di sebuah institusi untuk menaiktarafkan ataupun meningkatkan, memperkasakan atlet-atlet, jurulatih serta persatuan bagi memastikan sukan ini tidaklah terbantut mahupun tidaklah terbantut dengan begitu sahaja, so, saya mengharapkan Majlis Sukan Negeri Johor terus bergerak memastikan sukan ini terus diperkasakan. Terima kasih YB Penggaram.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Skudai.

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 12.

Apakah usaha kerajaan negeri Johor bagi memastikan kualiti pembinaan rumah PPR di bawah KPKT yang dibina di Johor berkualiti dan tidak bersifat ala kadar?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Skudai menanyakan tentang apakah usaha Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan kualiti pembinaan rumah PPR di bawah KPKT yang dibina di Johor berkualiti dan tidak bersifat ala kadar.

Pertama, saya nak maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, bahawa Kerajaan Negeri Johor melalui PPR atau Rumah RSK (Rumah Sewa Kerajaan) adalah di bawah bidang kuasa atau pentadbiran di pihak PKPJ, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi lantikan kontraktor, kualiti dan kelulusan pembinaan PPR adalah kuasa sepenuhnya KPKT atau di peringkat pusat. Waima begitu, untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri telah menjalankan sesi libat urus bersama pihak KPKT dalam membincangkan hala tuju PPR di negeri Johor. Sesi ini merangkumi garis panduan dan terma rujukan dalam ikatan bersefahaman program PPR dan penglibatan PKPJ, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor dalam pra pembinaan, pelaksanaan dan pasca pembinaan. Ianya bagi tujuan memastikan aspek, skop rekabentuk, komponen, spesifikasi dan kualiti bahan disemak dan disetujui selain komitmen KPKT dan pemaju dalam menambahbaik tempoh tanggungan kecacatan. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Sebagai seorang pemimpin kita pasti mengharapkan lebih banyak rumah PPR ataupun transit dibina di kawasan dengan tujuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan atau terjejas kehidupan supaya dapat tempat duduk yang lebih baik. Jadi soalan saya, apakah kriteria pemilihan kawasan untuk pembinaan rumah PPR di sesuatu kawasan, adakah mengikut ketersediaan tanah bagi pembinaan projek PPR ataupun keperluan penduduk di sesuatu kawasan? Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Skudai. Dah tentulah di peringkat kerajaan negeri mahupun peringkat kerajaan pusat, kualiti pembinaan satu-satu penempatan dah tentulah kita nak yang terbaik untuk rakyat Johor. Bila menyentuh tentang bagaimana pemilihan dari segi lokasi dan tempat, ia bergantung juga kepada penempatan yang mempunyai kepadatan yang tinggi. Kadang-kadang seperti yang ada sekarang ini, projek yang sedang berjalan dan sedang disiapkan ialah PPR Bandar Tenggara. PPR Bandar Tenggara ini PPR landed yang akan ditawarkan oleh penduduk di Bandr Tenggara. Begitu juga, PPR di Bandar Penawar. Bandar Penawar ada 2, satu untuk kakitangan awam, baik di peringkat kakitangan Johor dan persekutuan dan satu lagi adalah untuk orang awam. Begitu juga ada beberapa PPR lagi seperti di Pasir Gudang, di Masai, di Johor Bahru dan di Sembrong dalam proses pembinaan, baru 5%. Dan yang terakhir, PPR yang dalam perancangan permohonan kepada KPKT ialah PPR Kluang. Jadi secara spesifiknya, kita tidak ada garis panduan untuk menempatkan atau membangunkan satu-satu PPR tetapi ia banyak bergantung di peringkat kepadatan atau permohonan yang dibawa oleh Ahli-Ahli Parlimen kepada Menteri. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Johor Jaya, tapi tak ada soalan tambahan.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 13. Nyatakan kos, rancangan atau cara penyelesaian banjir kilat yang berlaku di Jalan Rosmerah Utama (di bawah jambatan, menuju ke Jalan Dedap) serta bilakah kali terakhir kerja-kerja penyelenggaraan sungai dijalankan.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Soalan Yang Berhormat Johor Jaya ialah mengenai rancangan atau cara penyelesaian banjir kilat yang berlaku di Jalan Rosmerah Utama serta bilakah kali terakhir kerja-kerja penyelenggaraan sungai dijalankan. Yang Berhormat Datuk Speaker, kejadian banjir kilat yang berlaku di Jalan Rosmerah Utama adalah disebabkan oleh sistem perparitan tepi jalan yang tersumbat dengan sampah yang menyebabkan aliran air tidak dapat bergerak lancar. Kejadian banjir juga disebabkan

salah satu pembetung parit utama anak sungai Plentong, iaitu parit utama Taman Johor Jaya terhalang oleh pokok besar yang tumbang serta dihanyutkan air dan tersangkut di sebahagian pembentung ke kota Jalan Rosmerah Utama. Halangan tersebut menyebabkan kapasiti pembetungan kekurangan dan menyebabkan limpahan air di atas jalan Rosmerah Utama. Pihak MBJB telah membersihkan pokok yang tersangkut dengan segera. Terdapat juga parit SAJ bersaiz lebih 600 mm yang terdapat dalam pembetungan yang juga menyebabkan halangan air dan berlaku banjir kilat. Untuk rekod, kali terakhir kerja-kerja penyelenggaraan Sg. Plentong di kawasan ini ialah pada tahun 2016 yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dan 2018 oleh MBJB. Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor juga telah memasukkan kerja-kerja penyelenggaraan Sg. Plentong ini di dalam penyelenggaraan tahun 2023. Tetapi, apa pun kita tahu macam kekangan yang seperti mana yang saya telah nyatakan pada hari itu, ialah kita perlukan bajet yang lebih untuk kita buat penyelenggaraan lebih kerap. Tapi apa pun, hasil daripada satu MoU pada 28 Julai 2022 oleh MBJB dan JPS membolehkan MBJB dan JPS bergilir-gilir menyelenggara dan hasil daripada itu, MBJB telah memperuntukkan kos sebanyak RM500,000.00 untuk menyelenggara kawasan tersebut dan MBJB juga telah meluluskan bajet sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penggalian mendapan di kolam tadahan di Taman Desa Tebrau yang termasuk dalam lembangan anak Sg. Plentong yang mengalir ke kawasan ini. Dan skop kerja akan dilaksanakan termasuk menggali dan membawa keluar mendapan ke tapak pelupusan MBJB, membina tembok penahan konkrit, kolam takungan untuk memastikan kolam ini berfungsi dengan sempurna. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan hingga jam 11.30 pagi. Persidangan ditangguhkan pada jam 11.10 pagi. Persidangan disambung semula pada 11.30 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022. Ahli-Ahli Yang Berhormat diberikan masa 15 hingga 20 minit. Saya mohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan. Esok kita akan mula mendengar jawapan penggulungan daripada pihak kerajaan atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya jemput, Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberikan peluang untuk Mengkibol turut serta dalam Pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2023. Mengkibol ingin merafak sembah dan dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan Datuk Speaker, pada pagi semalam katakan paling penting juga ialah hubungan federal – negeri. Semoga kewujudan Kerajaan Perpaduan membawa manfaat lebih besar kepada rakyat Johor mengenai fokus federal – negeri wajar terus dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dengan ini, maka pertama-tamanya Mengkibol ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada EXCO Jawatankuasa

Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur, YB Mohamad Fazli yang telah membantu Mengkibol untuk melaksanakan projek pencahayaan jalan raya di Jalan FJ50 iaitu Jalan Batu Pahat – Kluang. Dan juga terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana minitkan permohonan Mengkibol kepada EXCO YB Fazli. Mengkibol juga mengambil amanat Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perjumpaan beliau bersama warga Jabatan Perdana Menteri bahawa perkhidmatan awam sebagai tunggak, tunggak negara dan di negeri Johor JCS juga sebagai tunggak. Sebagai tunggak dan sehubungan itu, semua penjawat awam diseru untuk bekerjasama serta membawa semangat islah iaitu perubahan ke arah kebaikan demi negara dan demi negeri. Beliau juga berkata kita tidak mungkin berjaya sekiranya tunggak perkhidmatan awam tidak sepenuhnya bersama saya. Di Kluang, bagi Mengkibol sama juga tidak mungkin Mengkibol mencatat banyak kejayaan sekiranya perkhidmatan awam terutamanya Majlis Perbandaran Kluang membantu Mengkibol untuk melaksanakan banyak projek yang membantu rakyat. Walau pun semasa pandemik selepas penukaran kerajaan pada tahun 2020 tahun 2021 masih perkhidmatan awam terus membantu demi menjayakan demi rakyat. Tahun 2023 dijangkakan akan menjadi tahun yang mencabar bagi ekonomi dunia dan juga ekonomi Malaysia. Oleh yang demikian, untuk membolehkan negeri tercinta ini berjaya mengharungi ujian ini, kerajaan negeri perlu menyediakan persekitaran yang kondusif bagi merancakkan semula ekonomi. Melangkah ke tahun 2023, dengan semangat baharu dengan suasana politik baharu yang mampu memberikan kestabilan dan reformasi tadbir urus yang lebih cekap dan berintegriti. Oleh itu, usaha merancakkan semula ekonomi perlu diterjemahkan di dalam perancangan belanjawan Johor dan menjadinya teras utama dalam setiap perancangan belanjawan negeri. Ucapan Mengkibol hari ini menyentuh 3 perkara utama, iaitu ulasan belanjawan, kedua projek pembangunan dan ketiga reformasi Dewan negeri Johor.

Pertama, ulasan belanjawan. Pengurangan peruntukan pembangunan. Ini satu isu yang Mengkibol rasa sangat penting dan serius. Kalau kita tengok anggaran perbelanjaan negeri Johor adalah RM1.7317 bilion. Namun begitu, jumlah peruntukan pembangunan 2023 hanya sebanyak RM600 juta atau pun 34.65% daripada jumlah keseluruhan. Ini merupakan pengurangan sebanyak 31% berbanding dengan peruntukan pada tahun 2020 atau sorry tahun 2022, iaitu RM870 juta. Ini merupakan peruntukan pembangunan yang paling rendah berbanding dengan tahun yang lepas. Tahun 2018 sebanyak RM615 juta, tahun 2019 sebanyak RM613 juta, tahun 2020 sebanyak RM780 juta semakin meningkat, dan tahun 2021 sebanyak RM850 juta. Jadi, tahun ini kita nampak satu kemerosotan yang sangat ketara, pada perbahasan sidang Dewan negeri ketika belanjawan negeri Johor tahun 2022 pada tahun lepas, Mengkibol telah mencadangkan peruntukan pembangunan yang dibentangkan pada ketika itu iaitu RM870 juta haruslah ditingkatkan kepada RM1.0 bilion, meningkat. Demi memberi lebih dorongan ekonomi kepada pemulihan ekonomi pasca wabak. Jadi, peruntukan-peruntukan pembangunan adalah sangat penting untuk mendorong pemulihan. Namun begitu, nampaknya peruntukan tahun hadapan semakin mengecil dan dikhuatiri tidak dapat memberikan impak positif terhadap pembangunan negeri Johor. Jadi, Mengkibol berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian dan membuat penambahan kepada peruntukan pembangunan.

Menurut analisis audit, baki terkumpul kumpulan wang disatukan pada akhir 2021 mengikut belanjawan adalah berjumlah RM2.245 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM434.45 juta atau pun 16.2% berbanding RM2.679 bilion pada akhir tahun 2020. Maka, Mengkibol berharap agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menyatakan kedudukan kewangan negeri yang terkini semasa ucapan penggulungan beliau. Juga pengurangan peruntukan JKR, JPS dan pengangkutan. Sehubungan dengan ini, pengurangan belanjawan bagi jabatan ini ketiga-tiga jabatan ini daripada RM147 juta pada tahun 2022 telah mengurangkan kepada RM115 juta pada tahun hadapan. Ini merupakan satu perancangan yang tidak selari dengan keperluan semasa kita menghadapi isu iklim ekstrem dan cuaca yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia. Pengurangan

ini adalah sebanyak 25% ini bermakna penurunan kualiti perkhidmatan, baikpulih dan pembangunan.

Strategi kedua dalam ucapan bajet, strategi kedua Teras Tadbir Urus, Penyampaian Perkhidmatan Yang Responsif. Mengulas mengenai strategi ini Mengkibol ingin menyatakan kualiti perkhidmatan pelanggan semasa bagi sebahagian jabatan yang pada ketika ini Mengkibol rasa amat mendukacitakan. Tindak balas yang perlahan dan ada kalanya tiada maklum balas langsung diberikan terhadap laporan aduan awam. Sebagai contoh, di kawasan saya Taman Gunung Lambak terdapat longkang yang pecah yang menyebabkan hakisan yang semakin teruk pada jalan raya dan mengakibatkan jalan raya itu pun ada runtuhan, menyebabkan kerosakan yang sangat serius. Sudah dilaporkan sejak tahun 2020, dua tahun yang lepas ya imagine sehingga sekarang kerosakan ini masih tidak dibaiki. Ini satu gambar yang saya ambil semalam. Yang begitu besar lubang dia boleh muat satu motosikal tapi sudah dua tahun, sudah tiga kali saya hantar surat kepada MPK tiada tindakan, whatsapp tiada tindakan, tiada respons, tiada jawapan, ini susah untuk kita sebagai Wakil Rakyat kita tersepit, kita tersepit. Aduan awam kita cuba menyelesaikan tetapi tiada maklum balas. Ini yang saya rasa sangat sedih, saya sudah masuk penggal kedua, saya sekarang rasa sangat sedih. Kita cuba bantu rakyat, tetapi mengapa perkhidmatan awam atau pun sebagai tunggak tidak membantu kita untuk menyelesaikan masalah ini? Adakah sebab kita di barisan pembangkang? Saya harap ini bukan sebab dia. Perkara seperti ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan, ini membawa kesan kepada juga kewibawaan perkhidmatan awam juga, jabatan-jabatan kerajaan.

Pihak yang bertanggungjawab sekurang-kurangnya saya merayu, sekurang-kurangnya perlulah menjawab surat-surat kami at least sekurang-kurang kita dapat maklum balik kepada pengadu apa yang berlaku. Mengkibol berharapkan, mengajak dan merayu kepada jabatan-jabatan ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatan aduan rakyat memberikan maklum balas dan tindakan untuk menyelesaikan aduan.

Hub Skill Johor, merujuk kepada inisiatif 1, Hub Skill Johor, kos pembinaan kampus latihan yang akan di bina ialah sebanyak RM107 juta. Soalan Mengkibol adakah ia akan dibiayai oleh YPJ atau kerajaan negeri? Mengkibol mencadangkan agar GLC seperti YPJ sepatutnya menanggung kos pembinaan ini. Gerak Kerjaya Johor 2023, Karnival TVET SMI 2023 dan Festival Usahawan Bangsa Johor. Item 79, item 80, item 93. Peruntukan sebanyak RM500 ribu untuk Gerak Kerjaya Johor, RM300,000.00 untuk Karnival TVET, RM1 juta untuk Festival Usahawan Bangsa Johor. Soalan saya ada apakah keberkesanan Gerak Kerjaya yang lalu? Adakah mereka akan membawa manfaat dan kita harus ada data menyokong keberkesanan program-program yang dianjurkan?

Penambahbaikan infrastruktur pelancongan trek pendakian Gunung Lambak, item 83 dan dalam ucapan Menteri Besar. Gunung Lambak merupakan lokasi ikonik di Kluang dan saya rasa gembira diberikan satu dana RM300 juta diperuntukkan untuk trek pendakian untuk Gunung Lambak. Mengkibol mencadangkan agar ia digunakan untuk menyediakan fasiliti bagi pendakian waktu malam. Ha, ini dapat menarik ramai pengunjung bermalam, pengunjung dari luar negara atau pun di tempat yang jauh bermalam di Kluang. Ini membawa kesan, dapat memaksimumkan kesan ekonomi.

Strategi kelima, Memperkasa Industri Makanan, item 94. Sebenarnya bagi memantapkan lagi atau menjayakan industri makanan atau pun menyelesaikan masalah food security adalah penting dan Mengkibol ingin mencadangkan dua strategi tambahan yang sangat kritikal.

1. Penyewaan tanah terbiar kerajaan untuk pertanian moden dengan teknologi moden dengan menggalakkan golongan pemuda pulang ke kampung halaman mengguna teknologi moden, melibatkan diri dalam sektor pertanian moden.

2. Menyediakan fasiliti penyejukan dan penyimpanan. Mengapa ini penting, sebab ini menggalakkan pemprosesan hasil pertanian. Ini dapat menyerap dan simpan hasil

tani yang berlebihan. Dapat mengatasi masalah lambakan dan ia akan meningkatkan nilai hasil. Ini sangat penting.

Bahagian kedua projek pembangunan sekolah di Taman Seri Impian. Pada sidang Dewan yang lalu, bulan September, Mengkibol telah membawa isu mengenai pembinaan sekolah di kawasan Taman Seri Impian yang kini ada lebih kurang 7,000 unit rumah. Jawapan yang mengatakan analisis akan dibuat dan akan di bawa untuk permohonan pada tahun 2024, dua tahun kemudian. Jadi, maka dalam ucapan itu juga kata ini juga tertakluk kepada kelulusan dan keadaan kewangan semasa kerajaan negeri. Jadi, cadangan pembinaan sekolah ini saya rasa agak kritikal dan sebenarnya telah dimulakan ketika Rancangan Malaysia Ke-10 tahun 2011, tahun 2015, RMK-10. Malah, tapak sekolah SK yang seluas 13 ekar dan tapak sekolah SMK seluas 12.8 ekar pun sudah dikenal pasti. Justeru itu, Mengkibol sekali lagi mohon kerajaan negeri perlu menyokong usaha untuk pembinaan sekolah ini di satu bandar iaitu Taman Seri Impian yang mempunyai 7,000 unit rumah.

Projek penyambungan jalan VBC, Jalan Mengkibol, ini satu isu yang Mengkibol rasa sangat penting, paling penting yang telah saya bangkitkan dalam ucapan saya, soalan Dewan saya beberapa kali. Projek menyambungkan Jalan Mengkibol-Renggam ke Jalan Kota Tinggi melalui satu Vehicle Box Culvert atau VBC. Jalan sambung ini ke Jalan Sawi dan Jalan Kluang Indah cuma 500 meter, 500 meter tidak sampai 1 kilometer, dan ini dapat menyelesai masalah kesesakan. Dengan jalan pintas ini kenderaan tidak perlu melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Mengkibol di depan resident rasmi Pegawai Daerah dan hasil lawatan tapak, perbincangan, pihak MOT dan kontraktor double track iaitu SIPP YTL pada tahun 2019 dan VBC ini pun di bina, di bina oleh SIPP YTL dengan kos RM2 juta secara CSR. Mereka tanggung kos ini demi kebaikan rakyat, mereka tanggung RM2 juta. Projek penyambungan jalan ini telah tergendala disebabkan oleh pandemik dalam dua tahun tiada perkembangan. Kini, sebagai menyahut semangat Kerajaan Perpaduan, projek ini wajar diteruskan dengan kadar segera. Kos penyambungan ini dianggarkan dalam lingkungan RM2 juta sahaja, RM2 juta. Dan, saya pernah cadang kalau berbanding dengan Park Extreme di Kluang, RM2 juta lebih baik kita buat jalan sambung ini.

Projek kecil ini berimpak kecil tapi dengan kos yang rendah dan saya pun sudah pun buat satu online petition, air petition. Saya kumpulkan tandatangan lebih 2,000 orang penduduk Kluang, di sekitar sana, lebih daripada 2,000 orang, semua sokong. Pihak kami juga maklumkan kepada pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar melalui beberapa surat dan saya juga surat pertama bulan Mei, surat kedua bulan Ogos, surat ketiga bulan September, surat keempat dengan ulasan dan nasihat pakar dan Jurutera Lebuh Raya bulan September. Dan surat kelima pada 3 November. Dan semua surat ini semua saya sudah beri satu salinan kepada Set Pol Menteri Besar. Jadi, malangnya....

Speaker

Yang Berhormat ada dua minit lagi.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Tuan Speaker. Kalau ikut jawapan yang saya terima dari soalan Dewan, saya terima dari JKR, dikatakan pembinaan VBC tersebut gagal memenuhi keperluan minimum had ketinggian vertical clearance height iaitu 5.4 meter, alamak adakah ini benar? Tanya kali kedua, jawapan yang sama, height clearance 5.4 meter, adakah ini betul?

Saya buat kajian dan saya tanya jurutera pakar, contoh kita tengok ini, ini gambar Jalan Parlimen, Jalan Parlimen ada satu VBC juga, Vehicle Box Culvert dengan ketinggian 4 meter, kepada mereka yang pergi ke Parlimen boleh ambil perhatian, 4 meter adakah ini perlu dirobohkan? Di atas ada laluan untuk komuter dekat Bank Negara, kononnya ada orang yang membantah, dia kata ini untuk laluan air sahaja, ini untuk laluan basikal, terlalu sempit, adakah terlalu sempit? Mengkibol ambil gambar ini, tengok dua kereta boleh muat, dikatakan ini untuk laluan basikal jadi tidak memenuhi speks, tidak boleh bina, banyak alasan. Dan Mengkibol rasa sangat fed up, sangat sedih, ini untuk kebaikan rakyat, tapi

banyak halangan. Saya rasa sangat sedih, pada ketika saya pernah fikir, saya nak letak jawatan, mengapa projek yang baik dibantah dengan alasan-alasan yang begitu ridiculous? Mengkibol dimaklumkan pihak JKR, tak sesuai dan sebagainya. Terima kasih juga kepada Pegawai Daerah juga panggil satu mesyuarat koordinasi dan saya harap, saya dapat, saya boleh dapat satu jawapan positif daripada pihak Jabatan...

Speaker

Yang Berhormat masa tamat.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Mohon satu minit lagi boleh?.

Speaker

Sila duduk Yang Berhormat. Masa sudah habis.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Ok, terima kasih Datuk Speaker, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Datuk Speaker. Sebelum memulakan perbahasan, patik ingin merafak sembah ucapan selamat Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Terima kasih kerana memberi peluang kepada Stulang untuk menyertai perbahasan Belanjawan kali ini.

Tahniah diucapkan kepada Menteri Besar kerana membentangkan belanjawan yang pertama beliau dengan menggariskan strategi dan inisiatif dengan terperinci. Harapan besar semua Ahli Dewan Negeri ini adalah semua ini boleh dilaksanakan mengikut jadual dan masa yang ditetapkan. Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang ke-10. Buat kali pertamanya, terbentuknya Kerajaan Perpaduan di Malaysia dan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini telah membuka landskap politik baru di Malaysia, di mana parti-parti politik yang mempunyai pendirian yang berlainan sekarang perlu duduk bersama untuk bekerjasama dalam pentadbiran negara.

Bentuk kerjasama ini saya rasa, kita perlu sama-sama pelajari kerana kita tidak ada pengalaman sebegini pada masa lampau. Saya rasa ini adalah ujian untuk negara dan pemimpin kita kerana adalah senang untuk bermuafakat atau menjalankan tugas sesama sendiri atau sesama parti politik yang sama tetapi adalah mencabar apabila kita perlu mengubah cara berpolitik kita yang sudah biasa. Sebagai penggubal dasar, kita perlu berpolitik dengan lebih holistik dan sentiasa berfikir dari sudut perspektif yang berbeza. Justeru itu, semangat kerjasama dwi partisan di antara kerajaan negeri dan pembangkang negeri Johor perlu diperkukuhkan demi kelancaran, kemakmuran dan kesejahteraan Johor.

Harapan kami adalah kerjasama baru Barisan Nasional dan PH di peringkat persekutuan boleh dijadikan panduan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian agar muafakat yang lebih matang boleh dijalinkan untuk membincangkan hala tuju pembangunan negeri. Yang Berhormat Sri Medan juga ada mengatakan bahawa carilah yang baik dalam buruk orang itulah akhlak, carilah buruk dalam diri sendiri dan perbaikan itulah ikhlas namanya. Saya rasa ini caranya kita memulakan kerjasama yang lebih intim, kerana saya rasa semua orang lebih suka bekerja dalam atmosfera yang mendukung kebaikan dan pendamaian. Di mana kusut diselesaikan, keruh diperjenihkan. Jadi, banyak perkara memerlukan usaha sama kerajaan persekutuan dan negeri. Contohnya isu kewangan, penurunan kuasa, pelaburan, kawal selia sempadan, pengangkutan, pelancongan dan sebagainya dan saya rasa pasti setiap kementerian mesti ada kaitannya dengan kerajaan negeri.

Jadi, Menteri amat memerlukan input dan nasihat MB, pasti. Dan, saya rasa MB juga amat memerlukan pemerkasaan dasar peringkat pusat. Bukan itu sahaja, di peringkat pelaksana juga melibatkan agensi atau badan yang pelbagai dari persekutuan dan negeri. Lantaran itu, kerjasama yang lebih matang perlu dipupuk. Justeru itu, kami sebagai pembangkang

akan terus memainkan peranan kami sebagai pembangkang yang konstruktif, sebagai pelengkap kepada kerajaan serta memberikan cadangan dasar yang membina.

Stulang ingin membagikan beberapa isu yang berkaitan dengan isu sempadan, CIQ, pengangkutan awam Johor Selatan serta ekonomi setempat Johor Bahru. Tahniah kepada kerajaan pusat dan negeri kerana mengambil inisiatif memperbaiki kelancaran tadbir urus sempadan Malaysia – Singapura. Untuk merancakkan ekonomi Johor Selatan dan Johor, kelancaran trafik di sempadan dan Bandaraya Johor Bahru adalah sangat penting. Kami mahu melihat, kita mahu melihat, saya rasa semua orang mahu melihat sempadan dengan aliran orang yang banyak dan sibuk tetapi bukannya sesak.

Yang pertama, adalah saya cuba bangkitkan sekali di sini adalah berkenaan dengan penambahan tenaga kerja untuk Imigresen di CIQ. Stulang menyeru pihak kerajaan agar menambah bilangan kakitangan Jabatan Imigresen agar kaunter yang lebih boleh dibuka dan kerahan balik tenaga. Kerahan balik tenaga maknanya mereka yang dipindah, dipindah keluar semasa PKP di sempadan perlulah disempurnakan secepat mungkin untuk menampung keperluan atas aliran pengembara yang kian meningkat. Ini juga boleh, membolehkan agar kaunter yang lebih boleh dibuka semasa waktu puncak.

Belanjawan juga ada menyentuh tentang penambahbaikan di CIQ BSI. Saya mencadangkan kerajaan negeri atau kerajaan pusat memandang serius kepada perkara yang sangat penting dalam Bangunan CIQ BSI dan KSAB. Iaitu tandas awam perlu dinaik taraf, tandas awam perlu dinaik taraf. Saya sering mendapat keluhan daripada para pengguna bahawa tandas di CIQ tidak selesa, mangkuk tandas rosak, orang awam terpaksa beratur panjang dan sering kali tidak bersih juga. Jadi, clearance pun nak beratur panjang, masuk tandas pun kena beratur panjang. Jadi, pintu masuk ini merupakan imej negara dan amat perlu untuk kerajaan memastikan keselesaan para pengguna apabila mereka mempunyai kecemasan semula jadi. Saya harap belanjawan kali ini boleh selitkan ataupun tambah bahagian ini ataupun road charge yang dikutip boleh pun digunakan untuk tujuan tersebut. Belanjawan pun ada lebihan RM2 juta lebih, saya rasa bolehlah selitkan bahagian ini kerana saya sentiasa mendapat feed back bahawa pintu masuk tandas kita tidak bersih.

Jadi, tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjalankan usaha menggabungkan kaunter JIM, PLUS, JPJ yang mampu membantu kelancaran trafik demi mengelakkan kesesakan di CIQ BSI. Saya masih ingat lagi, pengalaman saya empat tahun yang lalu apabila cadangan ini diketengahkan, cabaran adalah koordinasi dan kekangan antara jabatan. Walaupun mengambil masa yang panjang, agak lama, tetapi akhirnya masih boleh mencapai kata sepakat. Justeru itu, saya rasa Penubuhan Agensi Tunggal ataupun Coordinated Manage Boarder Management masih lagi relevan untuk kawal selia sempadan yang lebih berkesan bagi menghadapi cabaran masa depan.

Dan berkenaan dengan pengangkutan awam di sekeliling CIQ BSI, di sekeliling sempadan, salah satu cadangan saya adalah saya rasa ini pun pernah diketengahkan tapi belum direalisasikan iaitu R&R Pandan boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya ia boleh memainkan peranan sebagai staging area untuk mengurangkan trafik semasa waktu puncak di Bangunan CIQ BSI. Maknanya, apabila ada kesesakan di EDL, sebelum masuk CIQ BSI, maka kereta atau lori bolehlah berhenti dulu di R&R Pandan. Kemudian R&R Pandan, kita boleh menyediakan shuttle bus berkala yang kerap untuk mereka yang meletak kenderaan, baik motor ataupun kenderaan di RNR Pandan. Untuk tujuan ini, penyediaan tempat letak kereta, motosikal yang lebih luas atau terurus adalah perlulah. Ini juga boleh mengurangkan masalah ketidakcukupan letak kereta atau motosikal di sekitar Johor Bahru dan Bangunan CIQ BSI.

Jadi, masalah ketidakcukupan tempat parking kereta dan motosikal ini, masalah ini telah pun lama dan masih berlaku dan dijangkakan akan menjadi semakin rumit pada masa depan sekiranya tiada jalan penyelesaian khusus lebih-lebih lagi apabila RTS mula

beroperasi pada tahun 2026. Jadi, cadangan saya adalah membina tempat parkir kereta atau motosikal bertingkat atau mencari tapak dalam lingkungan radius 3 hingga 5 kilometer dari pusat Bandar Johor Bahru yang sesuai untuk dijadikan tempat parkir yang dilengkapi dengan perkhidmatan bus shuttle bercover yang lengkap. Dan memang untuk cara penyelesai jangka panjang adalah menggalakkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagi pihak swasta pula, saya juga lihat ada banyak yang pihak swasta yang menyediakan tempat parkir di sekitar CIQ, yang bukan dalam lingkungan jarak pejalan kaki iaitu walking distance tetapi agak menghampakan, ada beberapa kosong, tak ada orang yang meletak kereta sana. Saya menyeru agar mereka mempertimbangkan menyediakan perkhidmatan shuttle. Ini praktikal kerana ia menggalakkan orang tidak menumpukan parking di sekeliling pusat bandar Johor Bahru, di sekeliling CIQ BSI, ia juga boleh meningkatkan bisnes parkir mereka.

Saya cukup yakin kerajaan persekutuan dan negeri pasti akan meletakkan tugas merancakkan ekonomi tempatan Johor Bahru, sempadan sebagai satu agenda utama. Saya rasa ini cukup penting kerana ekonomi Johor Bahru ini akan memacu kepada perkembangan ekonomi Johor. Rakyat mengharapkan ekonomi yang lebih mantap, agar nilai mata wang Ringgit Malaysia lebih berdaya saing. Saya rasa kalau kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mampu bekerjasama dengan baik dalam memacu ekonomi, dengan pelaburan yang lebih agresif, saya rasa 1 Dollar Singapura dengan RM2.80 dalam masa lima tahun bukan sesuatu yang mustahil, 1 Dollar Singapura, RM2.80 dalam masa lima tahun, saya rasa bukan sesuatu yang mustahil.

Ni YB Perling juga ada menyentuh tentang konsep Greater Johor Bahru yang menyentuh tentang pewujudan pekerjaan, Yang Berhormat Benut juga mengatakan keadaan ramai yang datang ke Johor dari negeri jiran, daripada middle to lower income dan mengharapkan lebih ramai yang datang dari middle to upper income. Jadi, dalam merancakkan ekonomi tempatan Johor Bahru, sempadan ini, objektif kita mesti jelas, saya rasa kita perlu meningkatkan ya dengan usaha dengan kerjasama semua pihak, meningkatkan kadar bermalam para pelancong di Johor. Setakat ini purata kadar bermalam di Johor adalah saya rasa, 1.0% lebih sahaja, 1.0 lebih hari sahaja. Jadi, kalau kita boleh membiarkan pelancong bermalam di Johor, lebih dari dua malam, saya rasa ada bantu dalam ekonomi kita. Jadi, ini perlu disusuli dengan meningkatkan produk atau produk pakej pelancongan tempatan, agar para pelancong yang datang bukan hanya untuk transit sahaja. Jadi PBT-PBT saya rasa juga perlu memainkan peranan yang berkaitan dalam fasilitasi lesen perniagaan agar Johor Bahru mampu menjadi tempat yang bisnes friendly.

Dan langkah yang keempat, memperbaiki pengangkutan awam di Tambak Johor, kita tidak boleh membiarkan pelawat tunggu berjam-jam di pintu masuk. Kemudian ada orang yang merungut kepada saya bahawa sekali sekala ada mereka didapati apabila beratur panjang, ada pegawai yang mengatakan bahawa kalau tidak puas hati, boleh balik, boleh putar balik, jadi saya rasa kita perlu membaik, membaiki keadaan ini.

Kemudian yang kelima, menarik pelabur berteknologi dan berimpak tinggi demi mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih dan juga menarik golongan upper income. Yang keenam, merancakkan ekspo-ekspo perniagaan untuk menarik golongan upper income, merancakkan acara seminar kebudayaan, pameran dan sebagainya yang berbentuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa supaya lebih ramai orang datang ke Johor. Dan Lapangan Terbang Senai juga perlu memainkan peranan, jadi kita memerlukan lebih banyak laluan terus antarabangsa untuk menarik, menarik lebih ramai pengunjung ke Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan banjir, saya di sini hanya ada satu cadangan sahaja. Terima kasih kepada JPS juga, kerana ada usaha mendalami sungai untuk mengurangkan risiko banjir, terima kasih. Dan, saya rasa kerajaan negeri dan Pejabat

Daerah mempunyai maklumat atau data, di mana kawasan-kawasan yang ditimpa banjir kilat atau berisiko tinggi dilandai banjir. Untuk jangka masa panjang, Stulang mencadangkan agar NGO-NGO atau persatuan-persatuan yang mempunyai tekad atau rela menjadi tempat tersebut sebagai kawasan angkat banjir. Maknanya, apabila berlaku banjir, NGO atau persatuan tersebut akan mengerakkan ahli-ahli mereka untuk membantu, inisiatif ini akan membolehkan mangsa banjir akan dibantu sebaik sahaja banjir berlaku, kerana jalinan dan persediaan awal boleh dilakukan. Untuk tujuan ini, Stulang rasa kerajaan bolehlah dengan kerjasama pemimpin tempatan mula mencari dan mengenal pasti persatuan-persatuan yang berminat untuk mengambil bahagian.

Jadi kesimpulannya, Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulannya, Stulang mengharapkan kerjasama dwipartisan yang berkesan untuk sama-sama kita membangunkan negeri Johor dan memberi nafas baru kepada Malaysia dan cadangan juga saya dalam penambahbaikan infrastruktur pengangkutan awam Johor Bahru dan Tambak Johor dan pentingnya membangunkan ekonomi setempat Johor. Dan dalam isu banjir juga saya mengharapkan penglibatan NGO dalam membantu mangsa banjir kerana penglibatan NGO ini saya rasa memang membantu kerajaan kerana dari segi orang dan kakitangan kita pun kadang-kadang kerajaan mungkin tidak memadai, kalau ada NGO yang membantu mereka boleh membuat persediaan awal, saya rasa ini akan lebih berkesan. Jadi dengan ini saya mengakhiri ucapan saya. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih YB Stulang. Dijemput Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera dan selamat tengah hari Yang Berhormat sekalian. Terima kasih atas keizinan kepada saya selaku ADUN Jementeh untuk melanjutkan perbahasan saya di Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jementah difahamkan bahawa anggaran penduduk yang berusia 21 hingga 40 di kawasan Segamat setakat Julai 2022 adalah lebih kurang 60,000 orang. Golongan belia ini merupakan golongan yang terbesar di kawasan Segamat dan merupakan sumber manusia utama di kawasan ini. Namun, keperluan asas golongan ini masih terabai. Kebanyakan daripada golongan ini merupakan peraih rezeki solo bagi keluarga masing-masing. Suara dari golongan belia ini menyatakan bahawa mereka menghadapi kesuntukan kewangan terutama selepas pandemik. Kos kehidupan yang semakin berat mengakibatkan golongan belia ini tidak mampu memiliki rumah sendiri apatah lagi kadar pinjaman bank yang semakin meningkat amat membebankan golongan tiang negara ini. Kajian menunjukkan bahawa Singapura menjadi destinasi pilihan bagi warga Malaysia yang mencari kerja khususnya di Johor. Bukan sahaja disebabkan mata nilai wang yang lebih tinggi tetapi kerana tawaran gaji lumayan sekitar lima kali ganda, selain faktor kedudukannya yang berjiranan. Kebanyakan belia terpaksa mencari kerja di Singapura bagi menanggung kos kehidupan keluarga. Adalah difahamkan pembinaan rumah mampu milik merupakan salah satu dorongan bagi mengekalkan bakat dalam tempatan. Jikalau mereka memiliki rumah, maka mereka lebih cenderung untuk mengekal di tempatan sebab kos kehidupan di tempatan adalah lebih rendah dibandingkan kos kehidupan di bandar. Tambahan lagi, ahli-ahli keluarga yang menduduki berdekatan lebih menggalakkan mereka untuk menetap di tempatan.

Akan tetapi seperti yang dijawab oleh Yang Berhormat JKT Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 4 Disember 2022 yang lalu, bahawa tiada projek pembinaan rumah mampu milik di kawasan Segamat buat masa ini. Dan seperti dalam teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023 Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar tiada sebarang rancangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan Segamat dalam tahun 2023. Ini amat mengecewakan para penduduk di sekitar Segamat. Walau bagaimanapun, Jementah mewakili golongan belia ini menyeru supaya kajian dan penyelesaian bagi mengatasi

rintangan bagi pembinaan rumah mampu milik di Segamat dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari hari pertama sesi perbahasan di Dewan ini sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan membangkitkan isu banjir di kawasan masing-masing. Di sini Jementah juga mengambil kesempatan membangkitkan isu infrastruktur di kawasan Jementah dan Segamat sekali lagi khususnya sistem perparitan di kedua-dua kawasan ini. Banjir kilat yang kerap berlaku bukan sahaja membawa kerugian dari segi harta kepada para penduduk tetapi juga mengancam keselamatan para penghuni serta membawa kesulitan kepada mereka. Banjir kilat yang berlaku di Kampung Permatang Panjang pada minggu pertama November yang lepas menyebabkan para penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif. Pembinaan rumah home stay di kampung tersebut tergendala disebabkan jalan utama banjir. Ini membawa kerugian kepada para pemilik. Sistem perparitan yang tidak sempurna merupakan punca kejadian banjir kilat di kampung tersebut. Begitu juga sistem perparitan di Pekan Jementah. Kondisi longkang atau parit utama semakin membimbangkan. Didapati bahawa beberapa kejadian tebing longkang utama yang berdekatan di Lorong 2, Lorong 10, Lorong 11, Lorong 17 di Kampung Baru Jementah dan Jalan Nuri, Taman Ria Jementah runtuh. Ini amat membimbangkan penduduk. Pembinaan yang lama dan pengaliran air yang tidak lancar merupakan faktor utama tebing tersebut runtuh. Banjir kilat yang berlaku pada 25 Oktober dan 13 November tahun ini di Jalan Tan Siew Fan, Kampung Abdullah juga disebabkan oleh sistem perparitan yang ketinggalan zaman. Sistem perparitan yang tidak terancang dan tidak seragam dari segi saiz dan bahan binaan menyebabkan banjir berlaku dan air sukar untuk mengalir keluar.

Sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak terancang kerana kawasan itu dibina sekurang-kurangnya 30 tahun yang lepas. Situasi ini bertambah teruk atas kerja-kerja tanah projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas – Johor Bahru yang sedang dijalankan. Sistem perparitan di sekitar kawasan ini tidak lagi mampu menampung sistem pengaliran yang semakin meningkat disebabkan semakin banyak perumahan dibina. Banjir kilat yang berlaku pada 3 Disember 2022 di Jalan Ah Tong, Jementah juga melibatkan sekurang-kurangnya lima rumah di kampung tersebut. Kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh limpahan air dari Sungai Siput yang tersumbat. Penduduk di sekitar kawasan tersebut telah mengadu tentang maslaah sungai tesrebut pada 19 November 2022 sebelum banjir kilat berlaku dan Jementah telah menyalurkan kerisauan mereka kepada pihak JPS tempatan pada hari yang sama. Akan tetapi kenyataan dari pihak JPS bahawa tiada peruntukan bagi masa yang tersingkat ini disebabkan sistem perakaunan negeri yang sedia ada.

Adalah difahamkan bahawa perunding telah dilantik bagi kajian dan reka bentuk bagi menaik taraf sistem saliran di kawasan jajaran Sungai Siput dan dijangka akan lengkap pada bulan ini. Maka, Jementah ingin mempertanyakan bilakah laporan kajian tersebut akan dikemukakan dan bilakah sistem perparitan di Pekan Jementah akan dinaiktarafkan sedangkan masalah ini sudah berterusan bertahun-tahun dan laporan pengaduan telah disalurkan beberapa kali? Jementah memohon supaya sistem perakaunan negeri dikaji dan dipertingkatkan bagi mengatasi rintangan yang menyebabkan masalah bencana semula jadi semakin kritikal.

Menjelang 9 bulan mentadbir, masih tiada rancangan yang strategik atau penyelesaian yang lengkap bagi mengatasi masalah banjir di negeri Johor diumumkan. Sedangkan sejumlah RM71 juta dicadangkan dalam Belanjawan 2023 bertujuan pengurusan banjir dan saliran serta RM42 juta diperuntukkan kepada JPS bagi kerja penyelenggaraan parit dan saliran. Adakah bajet ini termasuk penaiktarafan jajaran Sungai Siput? Jementah memohon supaya perancangan yang lebih sempurna boleh dilaksanakan dalam masa yang terdekat bagi menaiktarafkan sistem perparitan bukan sahaja di kawasan Jementah dan Segamat tetapi di seluruh negeri Johor untuk mengelakkan masalah banjir yang lebih teruk berlaku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan bilangan penduduk di Segamat semakin meningkat, Jementah menyeru supaya pihak kerajaan negeri mengkaji dari semua aspek termasuk keperluan semasa dan peruntukan semasa bagi pembinaan serta pembangunan kemudahan sukan di Segamat. Keperluan kompleks sukan amat penting bagi membolehkan penduduk di tempatan menjalankan aktiviti sihat pada masa lapang. Buat masa ini, Segamat tidak mempunyai kompleks sukan untuk aktiviti sukan seperti bola sepak, olahraga, badminton dan lain-lain bagi tujuan beriadah dan juga bersukan. Meskipun bilangan penduduk yang bertambah, kesedaran untuk sentiasa melakukan aktiviti riadah dan juga bersukan adalah penting untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Obesiti bukan lagi isu semasa. Hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan setiap empat tahun mendapati 50.1% rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7% daripada mereka menghadapi masalah obesiti pada 2019. Obesiti adalah masalah kerana ia meningkatkan risiko seseorang mengalami banyak masalah kesihatan dan menyebabkan penyakit seperti diabetes, penyakit sakit jantung, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, strok dan lain-lain. Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang obesiti mati lebih muda daripada orang yang mempunyai berat badan optimum.

Aktiviti fizikal merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah obesiti. Masyarakat Segamat terutamanya golongan muda amat memerlukan kompleks sukan untuk bersenam bagi menjaga kesihatan. Kompleks sukan yang disempurnakan dengan kemudahan sukan terkini juga mampu membantu Segamat melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia dari kalangan anak tempatan. Dengan adanya kompleks sukan, ia akan memberi manfaat kepada seramai 87,000 orang pemuda di bawah umur 50 di sekitar bandar Segamat dan menggalakkan generasi muda dan masyarakat Segamat menikmati gaya hidup sihat. Oleh yang demikian, satu kajian terperinci perlu dijalankan untuk merancang dan membina kompleks sukan ini bagi memastikan kemudahan yang disediakan itu nanti akan memberi manfaat kepada keseluruhan komuniti termasuk penduduk dan atlet-atlet sukan prestasi tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk pengetahuan Yang Berhormat sekalian, dalam tahun 2022 sebanyak RM452,666.00 diagihkan oleh Pejabat Pertanian Segamat kepada petani-petani. Antaranya di bawah skim Projek Pembangunan Jangka Panjang, Projek Pembangunan Jangka Pendek, Projek Pembangunan Industri Sayuran, Projek Pembangunan Tanaman Kontan, Projek Pembangunan Komoditi Berpotensi, Projek Pembangunan Industri Kelapa, Projek Pembangunan Pertanian Moden, Projek Perintis Keusahaan Pertanian Johor dan Projek Industri Asas Tani. Peruntukan di bawah peruntukan negeri ini telah memanfaatkan sebanyak 64 orang petani. Namun, memandangkan Jementah akan diperkembangkan menjadi salah satu hab pertanian yang terpenting dalam Malaysia, peruntukan tersebut adalah amat tidak mencukupi. Jumlah petani Segamat telah bertambah lebih kurang 30% dalam tahun 2022 dan jumlah ini dijangka akan bertambah lagi di bawah dorongan dan usaha Pejabat Pertanian Segamat bagi menggalakkan lebih banyak pemuda pemudi untuk menyertai industri ini.

Oleh yang demikian, Jementah memohon supaya pihak kerajaan persekutuan mengkaji semula jumlah peruntukan bagi Segamat dan mempertimbangkan penambahan jumlah peruntukan bagi kepada Pejabat Pertanian tempatan. Ini bukan sahaja dapat memanfaatkan golongan petani sedia ada tetapi juga akan menggalakkan lebih banyak pemuda untuk menyertai dalam industri pertanian tempatan. Meskipun PKP telah dialihkan lebih kurang setahun, ekonomi negara kita masih terjejas. Suara dari para pemuda di Segamat bahawa mereka terpaksa bekerja e-hailing atau bekerja sambilan sebab tiada peluang yang lebih baik bagi mereka yang hidup di tempatan. Golongan ini lebih berminat dalam bidang usahawan akan tetapi golongan ini menemui masalah kesuntukan modal serta pengetahuan dan kepakaran usahawan. Dengan adanya peruntukan daripada Pejabat Pertanian yang bertambah ini akan memperkasakan keupayaan dan kemahiran golongan ini bagi menceburi bidang keusahawanan dalam industri pertanian. Segamat merupakan satu

bandar yang terletak di pedalaman dan kebanyakan sumber kewangan bagi penduduk tempatan amat bergantung kepada industri pertanian. Maka, Jementah memohon pihak kerajaan persekutuan mengambil berat tentang isu ini dan memberikan lebih tumpuan kepada golongan petani di Segamat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jementah ingin mengucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan 2023 yang bertema, Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat. Bajet ini bukan sahaja merupakan prihatin kepada Bangsa Johor tetapi bertujuan memperkembangkan negeri yang tersayang ini. Walau bagaimanapun, beberapa perkara perlu kita meninjau dengan lebih terperinci bersama-sama. Perkara 38, ketiga dalam teks ucapan Belanjawan Yang Amat Berhormat menyatakan tentang langkah atau inisiatif yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan hasil negeri melalui cadangan pelupusan tanah secara tender terbuka bagi tanah-tanah kerajaan yang berpotensi dan mempunyai nilai komersil. Ini merupakan satu inisiatif yang bersifat pisau bermata dua. Jementah menyeru supaya semua pihak dapat mempertimbangkan dan mengkaji pro dan kontra tentang langkah ini.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat sekalian, Bangunan Penjara Pudu yang penuh dengan sejarah dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur serta sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan kepada negara ini terpaksa ditutup pada tahun 1996 setelah berjasa lebih 100 tahun dan dibuka menjadi muzium yang terbuka kepada orang awam. Pada Jun 2010, dinding timur Kompleks Penjara Pudu telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek melebarkan jalan. Menjelang Disember 2012, semua bangunan di dalam Kompleks Penjara Pudu telah dirobohkan bagi pembangunan infrastruktur dan komersil. Penjara Pudu yang dibina semasa zaman penjajahan British merupakan salah satu penjara yang terkemuka di Malaysia. Walaupun ia merupakan salah satu sejarah hitam negara kita, dan bukan sesuatu yang dibanggakan ia masih mencatatkan bab yang penting dalam buku sejarah yang tidak dapat kita basmikan. Dan sejarah itulah yang sentiasa mengingatkan kita mendukung rukun negara bagi demi kemesraan dan keharmonian negara kita dan kebebasan rakyat. Reaksi daripada orang awam positif dan negatif bergaul ketika berita pelupusan Penjara Pudu ini diumumkan. Kerajaan persekutuan pada masa itu, menolak permohonan dari mantan Ahli Parlimen Bukit Bintang supaya usul ini dibentang dalam Dewan Rakyat. Hakikatnya kerajaan persekutuan menegaskan keputusan tersebut tanpa mengambil peduli rungutan rakyat. Lantaran ini Jementah menyeru supaya pihak kerajaan negeri menjalankan kajian dan soal selidik sepenuhnya bagi sebarang pelupusan tanah kerajaan untuk mengelakkan kerusuhan dan kekecohan daripada akar umbi. Jementah juga memohon supaya sebarang pelupusan tanah dibentang di dalam Dewan yang mulia ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi ke 4 dalam Belanjawan 2023 yang di bentang oleh Yang Amat Berhormat pada 1 Disember yang lepas menegaskan kepentingan perpaduan Bangsa Johor. Jementah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat yang berfikiran terbuka dan menjaga kebajikan Bangsa Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang. Akan tetapi secara rendah diri, Jementah memohon supaya Yang Amat Berhormat mentaklimatkan secara terperinci berkenaan inisiatif nombor 7 dalam strategi ini iaitu Inisiatif Memperkasakan Kerohanian dan Kebajikan Masyarakat Tiong Hua, India dan lain-lain. Jementah ingin mempertanyakan apakah dasar atau aplikasi peruntukan yang sebanyak RM12 juta tersebut disalurkan? Jementah memohon supaya Yang Amat Berhormat mempertimbangkan peruntukan yang mempunyai tujuan yang mulia ini diagih oleh setiap Ahli Dewan Negeri sedangkan Ahli Dewan Negeri merupakan Wakil Rakyat yang lebih berdekatan dengan akar umbi. Wakil Rakyat juga merupakan orang yang lebih sesuai dilantik untuk mengagihkan peruntukan tersebut untuk mengelakkan kejadian penyalahgunaan peruntukan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat sekalian, RM12 juta ini bukan merupakan satu nilai yang kecil. Jikalau kejadian penyelewengan berlaku ini bukan sahaja membawa impak yang negatif kepada komuniti tempatan, membawa kerugian kepada

Bangsa Johor tetapi menjejaskan reputasi para barisan Ahli Dewan Negeri. Justeru, Jementah memohon supaya Yang Amat Berhormat mempertimbangkan bahawa pengagihan peruntukan Perpaduan Bangsa Johor ini dianugerahkan kepada setiap Ahli Dewan Negeri secara rata. Sebagai gulungan pembahasan ini, izinkan Jementah membaca satu perenggan dari surat khabar News Strait Times yang bertarikh 6 Disember 2022. Johor UMNO Deputy Chairman Datuk Nur Jazlan Mohamed has claimed that more members of the party and Barisan Nasional would become victims of "political persecution" if they refuse to join the unity government. Dimohon barisan pentadbiran negeri Johor menghadam fakta yang dibangkitkan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed. Sekian pembahasan Jementah. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tiram, eh Layang-Layang. Minta maaf ya.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan Selawat). Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersyukur kehadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker di atas ruang dan peluang yang diberikan pada sidang kali ini untuk berbahas tentang belanjawan yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor beberapa hari yang lalu. Saya ingin juga merakamkan, merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang jatuh pada tarikh 22 November 2022 yang lalu semoga Allah SWT melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan bertambah-tambah juga darjah dan kemuliaan. Dan saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2023 dengan jayanya. Walaupun belanjawan yang telah dibentangkan tadi kita mendengar ramai di kalangan wakil-wakil rakyat, Ahli-Ahli Dewan yang telah membahaskan kerana membangkitkan ada yang ketidakcukupan dan sebagainya. Seperti peruntukan kepada pihak JPS dan sebagainya untuk pemuliharaan dan penyelenggaraan sungai dan sebagainya itu, tidak mencukupi namun mungkin pendekatan pihak kerajaan negeri insya-Allah, mudah-mudahan kita ambil pendekatan kalau kita tidak melakukan semuanya, jangan kita tinggalkan semuanya. Insya-Allah mungkin adalah pendekatan yang digunakan oleh agensi-agensi terbabit untuk menyelesaikan masalah-masalah perparitan dan saliran di negeri Johor, insya-Allah. Saya ingin juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga Ahli-Ahli Kabinet, Menteri-Menteri yang telah dilantik dan telah pun mengangkat sumpah baharu-baharu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membahaskan tentang Teras Ke-6 tentang Pemerkasaan Pendidikan dan Syiar Islam di Negeri Johor. Semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor kita telah pun mengarahkan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersama dengan Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk mengkaji, membuat satu kajian dalaman tentang silibus dan juga kurikulum sekolah agama kerajaan negeri Johor. Kerana kajian itu perlu untuk memberikan keberkesanan dalam pendidikan Sekolah Agama Negeri Johor kerana tempoh silibus ini tidak dilakukan semakan dan juga kajian dah terlalu lama, dan alhamdulillah saya telah pun dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama bahawa perkara ini telah pun dikaji dan telah pun diguna pakai sekarang ini. Namun, dalam hal ini banyak juga perkara-perkara yang berkaitan dengan pemerkasaan pendidikan di negeri Johor melalui Teras 6 yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar perlu di perkasakan supaya bukan sekadar hanya silibusnya sahaja, kurikulumnya sahaja tetapi dari segi pembangunan fizikal sekolah-sekolah agama, begitu juga tentang manpower guru-guru sekolah agama ini juga perlu dipertingkatkan. Jadi, dalam perbahasan kali ini, saya ingin menyatakan bahawa tentang pembangunan sekolah agama sekarang ini sudah

menjangkau sudah terlalu banyak kawasan-kawasan taman, kawasan-kawasan bandar yang perlukan sekolah agama pada kali ini. Saya lihat, supaya pihak jabatan Pendidikan, jabatan-jabatan Agama Islam Johor khususnya Bahagian Pendidikan melihat perkara ini secara bersungguh-sungguh kerana kekurangan guru agama, kekurangan bangunan sekolah agama ini penting, untuk dilaksanakan oleh pihak kerjaan untuk dibangunkan di kawasan-kawasan yang memerlukan sekolah-sekolah agama.

Yang kedua, berkaitan juga dengan guru-guru agama. Baharu-baharu ini kita dimaklumkan bahawa seramai lebih kurang 380 orang guru agama berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia dan ini juga menyebabkan kekurangan-kekurangan guru agama di sekolah-sekolah agama negeri Johor, di samping kekurangan yang sedia ada yang mana kita lihat setiap tahun ada lebih kurang 250 orang. Setiap tahun yang mana mereka ini bersara ataupun mereka ini bersara secara pilihan, bersara wajib, bersara pilihan dan juga mungkin juga yang ada kerana medial board dan sebagainya. Jadi, ini penting kita lihat pihak kerajaan mengambil perhatian supaya jangan ada sekolah-sekolah yang kekurangan guru sehingga membebankan kepada guru-guru KAFA dan begitu juga guru-guru kebajikan yang dilantik oleh pihak sekolah itu sendiri untuk membantu mengajar pendidikan agama di sekolah agama negeri Johor, kerana mereka ini tidak pernah mendapat latihan ataupun kelulusan yang berkaitan dengan pendidikan sekolah agama yang sebenar-benarnya.

Jadi dengan sebab itu, yang berkaitan dengan guru agama ini tadi saya ingin maklumkan kepada Dewan dan juga kepada pihak Jawatankuasa Agama, Pengerusi Jawatankuasa Agama supaya kita kena mengambil pendekatan bahawa guru-guru agama yang telah berkhidmat di sekolah-sekolah agama ini kita kenakan syarat, supaya dikenakan syarat supaya mereka ini tidak sewenang-wenangnya, semudah-mudahnya untuk berpindah ke mana-mana tempat untuk bertugas. Kita kena syarat-syarat begitu juga mungkin salah satu di antaranya skim gaji guru, skim gaji guru ini perlu dikaji begitu juga dengan gred guru itu sendiri supaya mereka ini tidak berpindah ke tempat lain untuk mengajar dan mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi sekiranya mereka berada di sekolah sebagai guru sekolah agama di sekolah agama kerajaan negeri Johor. Begitu juga mungkin penambahan dari guru Time Based, kalau kita lihat di Kementerian Pelajaran Malaysia, Pendidikan Malaysia mereka ada Time Based 8,8,6,3. Lapan tahun, lapan tahun, enam tahun dan juga tiga tahun. Tetapi di sekolah agama ini kita ada lebih kurang 10 tahun, 10 tahun, 10 tahun, 10 tahun. Jadi, ini mungkin melambatkan mereka dari segi kenaikan gred dan juga kenaikan gaji.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui Teras yang ke-6 juga, selain daripada bahagian pendidikan saya ingin menyebut tentang program pengimarahan masjid strategi 5, inisiatif 1 iaitu dibangkitkan tentang elaun imam, elaun guru-guru al-Quran ini telah pun dinaikkan. Guru-guru al-quran khas dan juga am ini telah pun dinaikkan. Saya ingin mencadangkan supaya pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor juga mengkaji melalui Jawatankuasa Agama supaya elaun imam masjid dan surau, elaun surau, elaun imam surau dan juga bilal surau supaya dikaji semula kerana mereka juga mempunyai peranan yang sangat penting dari segi pengimarahan surau di negeri Johor, ini penting. Sebab kalau kita melihat masjid, bilal imam masjid dan bilal masjid ini telah pun mendapat kenaikan dan juga mereka telah pun mendapat elaun yang telah ditetapkan tetapi surau-surau kita ini masih ada lagi yang masih tidak mendapat. Begitu juga bilal dan bilangannya itu, jumlahnya itu terlalu sedikit disamping peranan mereka sendiri itu hampir sama dengan peranan mereka yang bertugas sebagai imam dan masjid, imam dan bilal di masjid.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada itu saya ingin juga membawa perkara sepanjang COVID-19 terdapat surau yang telah dinaik taraf untuk dijadikan tempat mendirikan solat fardu Jumaat. Namun, apabila kita sekarang ini menuju kepada era endemik, fasa endemik ini ada masjid, ada surau yang telah pun mendirikan solat fardu Jumaat ini ditarik kebenaran itu tadi. Di tarik kebenarannya dan ada sesetengahnya di antaranya yang berjumpa Jawatankuasa berjumpa dengan saya supaya saya suarakan perkara ini, supaya dilihat jangan kesemua surau-surau ini tadi yang telah pun mendirikan

solat Jumaat diberikan kebenaran solat Jumaat ditarik semula. Perlu dilihat, surau-surau yang mempunyai jemaah yang ramai, yang surau-surau yang mempunyai aktiviti yang banyak dan imarah, ini penting. Kerana mereka ini merasakan seolah-olah mereka ini down grade, kita tahu bahawa semasa COVID-19 dulu kita berikan kebenaran itu sebab kita tidak mahu umat Islam itu berada di sesuatu tempat yang ramai kerana mungkin boleh menyebabkan penyebaran COVID-19 itu dan kita berikan kebenaran kepada surau untuk melaksanakan solat fardu Jumaat. Namun, setelah COVID ini kita sekarang berada dalam pasca yang dikatakan sebagai endemik ini, kita minta supaya surau-surau yang dah diberikan kebenaran jangan ditarik balik, dilihat semula. Di lihat semula supaya, masjid, surau-surau ini tadi akan terus makmur dan juga teruskan meneruskan program-program mereka seperti mana biasa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Teras 6 strategi 5 inisiatif yang kedua ada menyebutkan tentang Program Khatam Al-Quran. Di negeri Johor ini satu perkara yang unik iaitu pada tahun 1996 telah pun dilancarkan sebuah program iaitu dinamakan dia Program Membudayakan Al-Quran. Sehingga sekarang ya, ramai kita lihat hari ini melaksanakan program ini tidak kira di jabatan-jabatan kerajaan, di sekolah-sekolah, sekolah agama, sekolah kebangsaan, sekolah menengah, di swasta pun juga ada yang masih meneruskan Program Pembudayaan al-Quran. Jadi, satu program yang sangat baik iaitu tentang Khatamul Quran. Khatam al-Quran ini adalah satu perkara yang sangat baik sehingga Baginda Rasullah SAW pernah menyatakan dalam satu peristiwa, bahawa orang yang datang dalam majlis Khatam al-Quran, hanya menyaksikan Majlis Khatamul Quran itu seolah-olah mereka hadir dalam satu majlis menyaksikan pembahagian harta rampasan perang. Jadi, kita hadir dalam majlis Khatam al-Quran satu perkara yang banyak, walaupun kita tak membacanya tapi kita hadir makna kita dapat menyaksikan. Insya-Allah mudah-mudahan kita dapat tempias daripada kelebihan al-Quran itu tadi.

Sehubungan dengan pendekatan yang dibuat itu tadi, saya ingin menambah, walaupun tadi dah disebutkan program pengajian al-Quran ditambah elaun guru-guru al-Quran dan sebagainya ada satu perkara yang saya minta, di negeri Johor kita ada satu skim iaitu Skim Galakkan Menghafaz al-Quran, sebagaimana yang disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, kalau boleh mereka semua nak, tapi insya-Allah mudah-mudahan kita dulu pernah satu program, satu rumah, satu penghafaz Al Quran. Dulu kita pernah, satu program satu mukim, satu penghafaz al-Quran. Alhamdulillah, sekarang dah ramai, cuma dari segi menggalakkan mereka ini supaya mereka ini kekal menjaga hafazan mereka, jadi di negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor telah memperuntukkan bagi mereka-mereka yang menghafaz al-Quran 30 juzuk ini diberikan elaun satu bulan sebanyak RM1,000.00 melalui banyak tapisan, penilaian, ujian yang dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Cuma kadar yang diberikan itu masih lagi kekal RM1,000.00, ada negeri-negeri lain yang dah pergi jauh sehingga dua kali ganda, yang saya dimaklumkan juga ada yang dah pergi sampai tiga kali ganda. Jadi, saya minta supaya pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor ya, teruskan perkara ini dan kaji semula bilangannya. Sebab mereka ni tak berapa ramai, jadi kita nak meramaikan tu, itulah cari dia salah satunya iaitu kita memberikan ganjaran-ganjaran yang sedemikian.

Yang seterusnya, yang saya ingin menarik perhatian Dewan, Yang Berhormat Datuk Speaker, iaitu had umur Jurunikah di negeri Johor ni, banyak juga yang berjumpa dengan saya. Jurunikah ini penting tuan-tuan ya, Jurunikah ni penting ataupun Naib Kadi ataupun nama yang biasa kita sebut Penolong Pendaftar Nikah, Cerai Dan Rujuk, panjang tu, jadi had umur mereka ni, kalau dapat mereka-mereka yang dah umur 70 lebih, memang ada baru-baru ni nak ditamatkan perkhidmatan mereka, kalau dapat biarlah kalau mereka ni tadi masih mampu, boleh dengan keilmuan mereka, kita lanjutkanlah perkhidmatan mereka walaupun kita tahu sekarang kita sedang menggalakkan imam-iman muda, pembabitan imam muda tetapi mereka yang ada ilmu, ada pengalaman ini penting sebab ini, pekerjaan ini bukan menggunakan tenaga, mereka nak ilmu dan juga pengalaman.

Speaker

Setuju, Yang Berhormat.

Setuju ye.

Speaker

Setuju, sebab ada juga jurunikah ni dia tersasul, bukan dia nikahkan orang, dia nikahkan diri dia. (ketawa).

Itu bahaya, saya terima nikah pak imam ya, ok. Seterusnya, juga berkaitan dengan pengembangan usahawan sedia ada, saya tertarik dengan yang diucapkan oleh Yang Berhormat Larkin, Pengerusi Jawatankuasa berkaitan dengan hal ehwal keusahawanan ini, teras yang kedua, strategi empat, inisiatif dua yang difokuskan kepada peniaga-peniaga dan pekebun-pekebun yang sedia ada, yang terlibat akibat pandemik. Kebanyakan mereka ini dah ada input pertanian ni, mereka dah ada input pertanian, pengusaha fertigasi, tanaman kontan begitu juga usahawan-usahawan yang buat mikro dan IKS ini dah ada dah keperluan-keperluan tu dah ada, cuma masalah mereka ini sekarang ini iaitu modal untuk memulakan semula perniagaan kerana mereka ini telah pun terkesan dengan COVID-19.

Modal pun dah habis, jadi makan modal sekarang ni, jadi nak memulakan semula itu sebab saya minta kepada kerajaan pada hari ini supaya lihat balik, jangan kita lahirkan usahawan yang baru. Yang sedia ada dia perlu dibantu sebab itu pertanian ini semua dah ada, saya bersetuju dengan Yang Berhormat EXCO Pertanian untuk mewujudkan yang dikatakan mentor mentee berkaitan dengan pertanian penting sebab perkara ini sekiranya tidak ada yang menjadi ikutan kepada peniaga, apa pekebun-pekebun ini mereka akan terhenti, semangat mereka hilang bila mereka rugi ataupun terkesan dengan bencana dan sebagainya, wabak dan bencana mereka akan terhenti, tak ada orang yang boleh mereka nak jadikan untuk mereka nak merujuk, nak minta pandangan dan sebagainya. Jadi, saya minta kepada agensi-agensi yang ditetapkan nanti untuk menguruskan usahawan-usahawan ini tadi dan pekebun-pekebun ini fokuskan terlebih dahulu kepada yang dah sedia ada, mendapat bantuan input pertanian ataupun barangan-barangan untuk usahawan ini supaya mereka dapat memulakan semula perniagaan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya juga saya ingin memaklumkan dalam Dewan yang mulia ini kaitan dengan isu-isu di kawasan saya, apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan bahawa sejumlah besar anak-anak peneroka generasi kedua FELDA melalui Teras Satu Strategi Dua Inisiatif yang ketiga, tentang tanah generasi kedua FELDA. Saya ingin menyampaikan pantunlah, peluh peneroka membanting tulang, membuka tanah mengundang rezeki, budi tuan mana nak hilang, akan disemat di dalam hati. Ini pantun anak-anak peneroka generasi kedua, saya hanya menyampaikan sahaja.

Syukur alhamdulillah, inisiatif ketiga ini merupakan kurniaan tanah kepada generasi kedua dan saya pun telah berbincang dengan Pejabat Tanah Daerah, alhamdulillah perkara ini telah pun dibawa ke atas dan insya-Allah akan turun nanti dan mudah-mudahan anak peneroka FELDA di tempat saya yang jumlahnya tak ramai, lebih kurang 129 orang peneroka akan dikurniakan tanah untuk mereka mendirikan rumah dan mereka dapat mengimarahkan FELDA mereka, mereka tidak berada di luar. Sebab itu, begitu juga yang lain-lainlah, di dalam 15 buah rancangan, terdapat 4,000 permohonan kurniaan tanah generasi kedua FELDA ini akan juga dapat direalisasikan oleh kerajaan negeri Johor, Jazakumullahu khairan kathira, insya-Allah.

Dan, seterusnya juga tuan-tuan, program kolaborasi strategi pemodenan dan pertanian lestari di DUN Layang-Layang, kalau dilihat ada lebih kurang 18 ladang tapi ladang ni banyak kelapa sawit. Namun demikian, terdapat juga tanah-tanah pertanian yang boleh diusahakan. Anak-anak muda kita kena libatkan sebab kita tahu tuan-tuan, selepas COVID ini pasti akan berlaku satu krisis yang sangat besar iaitu krisis makanan. Jadi, kita kena mewujudkan simpanan makanan kita yang mampu untuk digunakan ataupun dimakan oleh

rakyat negeri Johor dan kita juga bukan setakat negeri Johor, rakyat di seberang sana ada lebih kurang 5 juta orang juga yang perlu kita nak bantu. Peruntukan sebanyak RM1.9 juta untuk program ini melibatkan 370 usahawan tani, ini perlu dilihat, saya ingat program yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian ini supaya dilihat betul-betul, program mentor mentee ini sangat penting supaya RM1.9 juta ini tidak akan sia-sia begitu sahaja dan mampu menghasilkan kualiti, kuantiti dan nilai produk pertanian yang kita harapkan.

Seterusnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan fertigasi tanaman makanan utama dan komoditi berpotensi..

Speaker

Yang Berhormat tinggal satu minit lagi ye.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk. Sikitlah dua minit bolehlah ye. Insya-Allah saya akhiri, jadi penting kepada kita pada hari ini khususnya kepada seluruh petani-petani dan juga pekebun-pekebun kecil ini melalui pembangunan industri tanaman makanan utama dan komoditi berpotensi, bantuan kerajaan RM3.3 juta walaupun tak banyak tapi sekurang-kurangnya akan memberi impak yang besar kepada 1,000 usahawan tani, yang meliputi pelbagai bentuk tanaman, buah-buahan, sayuran yang melibatkan 2,300 hektar, insya-Allah Layang-Layang juga bersedia untuk bersama dalam program ini.

Seterusnya, yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin maklumkan dalam strategi yang kedua inisiatif satu dan dua teras lima, saya minta RM71 juta ini tadi yang diumumkan untuk saliran dan sungai di negeri Johor ini, di DUN Layang-Layang ada dua kawasan yang tidak pernah diselenggara ye, namun, saya pernah bertanya dengan pihak JPS, dia kata peruntukan dah habis, jadi tahun depan. Sungai Sayong dan juga Sungai Ulu Remis, inilah dua sungai ini, yang menyebabkan baru-baru ini di kawasan DUN Layang-Layang ini mengalami banjir kilat agak dalam juga. Saya mengharapkan supaya penyelenggaraan parit-parit dan sungai ini termasuk di tempat saya ini dapat dilaksanakan supaya apabila tiba masa hujan yang lebat, risiko banjir tu dapat kita hentikan. Ini kawasan-kawasan yang terlibat dengan kawasan banjir itu iaitu Kampung Tengah Renggam, Kampung Saleh, Simpang Renggam, Kampung Cokro, Kampung Paya Layang-Layang, Kampung Melayu Layang-Layang dan juga Kampung Ac Sepakat, Jaya Sepakat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merayu kepada semua marilah kita bersama-sama menanamkan tekad untuk terus membangunkan negeri Johor, memberikan yang terbaik untuk Bangsa Johor dengan kesungguhan, yang akan membuahkan hasil terbaik untuk negeri Johor yang kita sayangi. (Bacaan Selawat). Akhir sekali saya mohon menyokong Belanjawan Negeri Johor 2023. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. Saya nak tanya Yang Berhormat Tiram, kita ada 10 minit lagi, boleh habis 10 minit ke?

Mungkin kalau terlajak pun dalam 3,4 minit Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput dulu Yang Berhormat Tiram ya, 10 minit kalau tak habis kita sambung selepas rehat nanti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor, salam Tiram Dihati. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang dan peluang kepada Tiram untuk sama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada tengah hari ini.

Buat pertama-tamanya patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2022 yang lalu. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Permaisuri Johor serta kerabat Diraja dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT. Semoga di bawah naungan Tuanku, negeri Johor bertambah maju, makmur, aman dan sejahtera. Daulat Tuanku.

Di kesempatan ini juga, patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT mencatat sejarah selepas kejayaan quadruple, dengan izin, dalam arena sukan bola sepak tanah air. Patik dan seluruh Bangsa Johor cukup berbangga dengan kejayaan luar biasa ini. Tahniah juga buat seluruh kontinjen Johor di arena Sukan SUKMA dan semua sukan yang disertai sepanjang tahun 2022. Saya juga merasakan ucapan tahniah juga wajar diberikan kepada semua peserta dan kontinjen DUN-DUN bagi Sukan Bangsa Johor yang diadakan pada 22 dan 23 Oktober yang lepas. Tahniah kerajaan negeri dan Yang Berhormat EXCO serta Majlis Sukan Negeri Johor di atas penganjuran Sukan Bangsa Johor yang berjaya mengumpulkan belia khususnya dari seluruh 56 buah DUN dan seterusnya berkampung di daerah Johor Bahru. Tahniah kontinjen DUN Kota Iskandar yang menjuarai edisi kali ini. (Dewan bertepuk.)

Yang Berhormat Datuk Speaker, patik turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berserta Majlis Raja-Raja yang telah dengan hemah dan bijaksana menyelesaikan kemelut kepimpinan negara agar ianya tidak berpanjangan yang akhirnya menyelesaikan pelantikan Perdana Menteri Yang Ke-10 dan seterusnya membolehkan barisan Kabinet ditubuhkan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Kota Tinggi, Yang Berhormat Pengerang, Yang Berhormat Pulai, Yang Berhormat Sekijang di atas pelantikan selaku Menteri Kabinet kali ini. Selamat maju jaya diucapkan. Dan tahniah juga kepada Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Perling, Yang Berhormat Simpang Jeram yang menang di kerusi Parlimen masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan 2023 yang merangkumi Sektor Pentadbiran Awam, Sosio Ekonomi, Kemudahan Asas, Keselamatan, Alam Sekitar dan Orang Muda Johor yang terangkum dalam 6 Teras, 26 Strategi dan 110 Inisiatif. Tahniah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersama pasukan yang telah merencana satu belanjawan yang terbaik buat Bangsa Johor untuk tahun 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram mengalu-alukan cadangan peruntukan yang diperuntukkan untuk memperkasakan penjawat awam negeri Johor dalam berdepan dengan big data, dengan izin, data raya apabila sejumlah RM150,000.00 untuk melaksanakan kursus-kursus Microsoft Power BI kepada kumpulan pengurusan dan profesional sebagaimana yang dibentang melalui Inisiatif Kedua dalam Strategi Pertama, Teras Yang Pertama. Selaku pemegang sijil pentauliahan microsoft, Tiram merasakan sudah masanya penggunaan Power BI digunakan dan diperluaskan dalam sektor awam negeri Johor yang boleh digunakan untuk menganalisa data dan menjadikan ianya sebahagian daripada decision support system, dengan izin, di dalam sistem pentadbiran negeri Johor. Namun saya juga mohon agar kursus seumpama ini dipanjangkan untuk kakitangan kumpulan sokongan. Selain itu, dicadangkan agar kursus-kursus berkaitan dengan penggunaan microsoft office ini dapat ditambah lagi kerana saya dimaklumkan kursus-kursus seumpama ini semakin berkurangan dianjurkan oleh pihak-pihak Institut Tadbiran Awam (INTAN). Kursus-kursus sebegini bukan sahaja memenuhi jumlah jam kursus penjawat awam

sekiranya ia diambil kira tetapi bagi saya yang penting bagaimana aplikasi atau tools, dengan izin, membantu menjimatkan masa kerja penjawat awam dan membantu, dalam melaksanakan tugas hakiki mereka. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat akan sagunya. Insya-Allah Tiram bersedia membantu kerajaan negeri untuk mendapatkan Microsoft Certified Trainer yang berpengalaman.

Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga menyokong cadangan rakan-rakan Yang Berhormat ADUN yang lain untuk turut menaikkan elaun Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat atas justifikasi yang telah pun dinyatakan. Selain itu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) boleh juga dipertimbangkan untuk mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada Inisiatif Keempat di dalam Strategi Kedua : Membasmi Kemiskinan, Teras Yang Ketiga. Terima kasih di atas peruntukan yang disediakan untuk kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan naik taraf premis JKM termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berjumlah RM560,000.00. Jumlah ini jika dilihat secara matematiknya, mungkin setiap DUN akan beroleh RM10,000.00 setiap satunya. Cuma, jika boleh ditambah baik dengan mengambil kira jumlah PDK yang ada dalam negeri Johor kerana di dalam DUN Tiram sahaja, kita mempunyai dua buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti yang telah diwujudkan iaitu PDK Tiram dan PDK Kota Masai. Mohon pertimbangan daripada pihak kerajaan andainya peruntukan akan diagihkan sebegitu. Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga memohon agar Bantuan Khas Kewangan dipanjangkan kepada penjawat-penjawat awam negeri Johor yang berstatus contract for service di agensi-agensi yang ada, sebagai contoh untuk Penggerak di Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya di dalam Teras Keempat di bawah Strategi Pertama iaitu Penyelenggaraan dan Naik Taraf Infrastruktur Awam. Di Tiram banyak jalan raya perlu dibaiki dan perlu perhatian agensi berkaitan. Pernah lalu dalam FYP Tik Tok saya, pengguna Tik Tok merakamkan video dengan latar belakang lagu Ella dengan lirik lagunya, ‘Ku belayar di lautan, tidak bertepian’, cukup sinis dan pedih Yang Berhormat Datuk Speaker bila mereka melalui jalan-jalan di dalam kawasan DUN Tiram. Jalan-jalan yang bertampal ini telah menjadi rungutan kepada pengguna jalan raya. Jalan raya dari sempadan DUN Pasir Raja iaitu di PULADA menghala ke Johor Bahru terutamanya di Bandar Cemerlang, Bandar Tiram, Pekan Ulu Tiram begitu teruk. Selain itu, masalah juga yang sama berlaku sepanjang jalan selepas Persimpangan Kampung Pasir Puteh menuju kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, ianya juga perlu diperbaiki. Apabila kerosakan ini berulang, pihak kerajaan mengkaji semula kenapa punca ianya berulang dan kerap kali berulang. Saya juga menggesa kerajaan untuk melihat jalan-jalan kampung yang memerlukan penambahbaikan sama ada dibaiki ataupun diturap semula. Saya mengambil contoh beberapa jalan seperti di Kampung Sungai Tiram, Kampung Kong Kong Laut menuju ke Kampung Sungai Latuh, Kampung FELDA Sungai Tiram, Kampung Desa Sayang dan beberapa batang jalan di dalam Kampung Pasir Puteh.

Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah kesesakan yang teruk juga berlaku di dalam kawasan DUN Tiram yang menjadi buah mulut orang ramai. Kesesakan dari Pekan Tiram menuju pusat bandar menjangkau selepas Pusat Membeli Belah Lotus Tebrau, malahan boleh sesak ke Persimpangan Bertingkat di Kampung Melayu Majidee, susur jalan ke persimpangan bertingkat di Taman Desa Cemerlang, Taman Gaya perlu dilebarkan. Kesesakan juga berlaku saban hari di Taman Kota Masai, Taman Pasir Puteh yang belum selesai sehingga ke hari ini. Aduan bukan sahaja diterima melalui whatsapp dan panggilan telefon ke Pusat Khidmat, tetapi saya juga di tag di dalam media-media sosial. Saya faham apabila di tag di laman media sosial ini, tinggi impian mereka untuk masalah ini diselesaikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penduduk di sekitar Taman Kota Masai, Taman Cahaya Masai, Bandar Layangkasa sering kali bertanya dengan saya, acap kali bertanya kepada

saya bilakah persimpangan bertingkat berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru yang telah di siap dibina akan dibuka? Saya yakin dan percaya persimpangan bertingkat ini juga merupakan satu mekanisme penyuraian trafik kepada situasi bottle neck, dengan izin, yang berlaku di Taman Pasir Puteh. Laluan ini menjadi laluan utama penduduk ke Pasir Gudang, ke Tanjung Langsat, ke Masai, ke Johor Bahru. Ini akan memberi alternatif kepada pengguna apabila persimpangan ini dibuka khususnya kepada mereka yang menuju ke kawasan Perindustrian Tanjung Langsat. Saya mohon agar pihak kerajaan negeri untuk campur tangan dalam mencari penyelesaian agar persimpangan bertingkat ini dapat dibuka secepat mungkin. Insya-Allah jika ianya dibuka bukan sahaja penduduk dalam penduduk DUN Tiram dapat menggunakan kemudahan ini, saya yakin dan percaya penduduk sekitar seperti di Taman Scientex, Taman Nusa Damai dalam DUN Permas itu sendiri akan dapat menggunakan kemudahan ini dan kemungkinan kesesakan yang berlaku di Taman Cendana juga boleh dikurangkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Strategi Ketiga, Teras Empat, saya nak mengambil perhatian pihak kerajaan negeri tentang Inisiatif Ketiga : Jaringan Internet dan Telekomunikasi. Sebahagian kawasan DUN Tiram ini terletak dalam pesisir kawasan pesisir pantai yang geografinya yang berhampiran atau berhadap dengan Singapura. Penduduk selalu menghadapi masalah apabila mereka berada di lokaliti pantai ini mereka kehilangan isyarat telekomunikasi dan isyarat telefon. Malahan kadang-kadang isyarat TELCO dari Singapura yang masuk dalam talian kita. Jadi, saya mohon pihak kerajaan melihat permasalahan ini, kaji dan bantu masyarakat dalam menyelesaikan masalah ini. Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Pasir Puteh, Kampung Perigi Acheh dan Kampung Tanjung Langsat. Manakala kawasan pedalaman yang perlu diberi perhatian akan liputan komunikasi ini yang agak lemah adalah di Kampung Air Puteh, Nam Heng dan sebahagian Sungai Tiram...

Speaker

Yang Berhormat sila duduk Yang Berhormat.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya akan bagi 10 minit lagi kepada Yang Berhormat selepas waktu rehat nanti jam 2.30 petang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Saya jemput YB Tiram untuk menyambung perbahasan, 10 minit.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Saya menyambung semula perkara yang saya terhenti di, sebelum rehat tadi. Imbas semula tentang Strategi Ketiga, Teras Keempat melalui Inisiatif Ketiga : Jaringan Internet dan Telekomunikasi yang telah dibacakan sebentar tadi berkaitan dengan kehilangan isyarat di kawasan-kawasan pesisir pantai yang menghadap ke Singapura dan juga kawasan-kawasan pedalaman yang mempunyai liputan telekomunikasi yang begitu lemah.

Semoga penambahbaikan liputan isyarat telekomunikasi ini juga akan seiring dengan Inisiatif Kedua, Strategi Keempat dalam Teras Pertama iaitu Pendigitalan Sekolah Agama

Kerajaan Johor. Jadi tidaklah timbul nanti isu aplikasi Albayen yang dibenarkan di Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Johor hanya digunakan di sekolah sahaja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Taman Kota Masai merupakan sebuah lokaliti yang semakin membangun sejak lebih 20 tahun dahulu. Cukup pesat. Saya yakin pelbagai pihak akan dapat melihat potensi yang ada di dalam, di Taman Kota Masai ini. Sebuah kawasan perumahan di sebelah timur DUN Tiram. Apabila berpindahnya pusat pentadbiran Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang akan mula dibina, insya-Allah pada tahun hadapan, saya yakin kawasan ini akan terus membangun dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang akan datang. Sehubungan dengan itu, di bawah Teras Keempat, Inisiatif Pertama, Strategi Yang Keempat, saya juga mengharapkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor agar dapat menyediakan sebuah pusat kesihatan di kawasan Taman Kota Masai ini untuk kemudahan penduduk di sekitar. Buat masa ini Klinik Kesihatan yang terhampir berada dalam DUN Permas di Pasir Gudang, begitu juga dengan pembinaan klinik kesihatan yang baharu serta hospital yang baharu juga berada di dalam kawasan Pasir Gudang. Mungkin apabila ada satu lagi pusat kesihatan ini akan kita mungkin boleh mengurangkan mobiliti penduduk dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan ini. Saya juga menyeru pihak perbankan komersil untuk mengambil peluang membuka cawangan-cawangan bank-bank di kawasan Taman Kota Masai ini yang kepadatan penduduknya begitu tinggi, begitu ramai dan ianya bagi memudahkan penduduk di kawasan sekitar berurusan dengan bank yang kebanyakannya pada hari ini berada di kawasan pusat bandar Pasir Gudang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana terus menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000.00 untuk diteruskan lagi usaha-usaha pemuliharaan Sungai Kim-Kim. Di bawah Teras Yang Kelima, saya juga mengharapkan agar pihak kerajaan di bawah Jabatan Alam Sekitar khususnya untuk memperkukuhkan penguatkuasaan berkaitan dengan pencemaran yang sering kali berulang khususnya sungai-sungai di Kampung Perigi Acheh dan juga pencemaran bau di Sungai Selangkah dalam kawasan Taman Tanjung Puteri Resort. Peristiwa hitam Sungai Kim-Kim pada 2019 cukup menginsafkan. Jika kita tidak mengambil perhatian yang serius Tiram khuatir kejadian seumpama ini mungkin akan boleh berulang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir saya juga mohon pertimbangan kerajaan negeri untuk membantu pemasangan lampu-lampu jalan yang boleh menerangi jalan-jalan yang ada dalam jalan-jalan kampung khususnya di FELDA Sungai Tiram, jalan menghala ke Batu 20, Sungai Tiram, jalan berhampiran Kampung Oren menghala ke FELDA Ulu Tebrau. Di kawasan jalan-jalan ini telah banyak kali berlaku kemalangan. Tiram mohon perhatian dan pertimbangan serius daripada agensi dan pihak kerajaan yang berkaitan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri perbahasan saya ingin mengucapkan takziah kepada Yang Berhormat ADUN Sri Medan yang kehilangan anakanda tersayang Almarhum Abid Fikri Iskandar bin Zulkurnian baru-baru ini. Moga roh Almarhum ditempatkan di kalangan para syuhada dan anbia serta keluarga tabah dengan kehilangan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang banyak membantu DUN Tiram khususnya dalam mengatasi pelbagai jenis aduan dan masalah rakyat sepanjang tahun 2022 ini. Semoga kerjasama dan respons agensi-agensi ini semua dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Tahniah juga diucapkan kepada barisan Pegawai JCS, Pegawai Pengurusan Dan Profesional Pejabat SUK yang telah bergelar graduan sama ada di peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana. Tahniah juga saya panjangkan ucapan ini buat rakan-rakan ADUN, Yang Berhormat Larkin dan juga Yang Berhormat Bukit Naning yang juga telah menamatkan di peringkat Sarjana dan telah bergelar graduan baru-baru ini.

Akhir sekali, ayuh semua bersama kita dengan kerajaan negeri Johor untuk berganding bahu membangun negeri yang tercinta ini khususnya dalam berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun hadapan. Bersama kita berdoa agar apa yang dirancang dalam Belanjawan 2023 ini dipermudahkan pelaksanaannya untuk Bangsa Johor. “Bismillahirrahmanirrahim, wahai Tuhan kami jangan memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya”. Surah al-Imran ayat yang ke-8. Dengan ini, Tiram menyokong Rundingan Belanjawan Johor 2023 Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Tahniah juga kepada Tiram yang tamat pengajian peringkat Sarjana. Saya jemput Yang Berhormat Maharani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. (Doa). Salam sejahtera, salam Maju Johor. Jadi alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat sama-sama kita mengambil bahagian di dalam ucap utama Pembentangan Belanjawan Johor 2023. Marilah juga sama-sama kita memperbanyakkan selawat dan salam buat Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW yang sentiasa menjadi pedoman bagi kita sehingga ke akhir zaman. Sebelum meneruskan ucapan pembentangan belanjawan ini, izinkan patik untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik bersama sekalian rakyat DUN Maharani berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi Bangsa Johor sekalian.

Maharani juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT yang telah pun menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu dan kejayaan JDT menjadikan pasukan pertama menjulang 4 piala dalam satu musim. Iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Juara Liga Super dan yang terbaharu ialah Piala Malaysia. Sememangnya merupakan satu lakaran sejarah yang luar biasa dan gemilang, yang cukup membanggakan, tahniah diucapkan.

Maharani juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kontinjen Johor yang telah mencipta sejarah yang cukup bermakna apabila buat pertama kalinya menjuarai Sukan Malaysia iaitu SUKMA pada tahun 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur pada September yang lalu. Di atas kejayaan luar biasa JDT dalam Kontinjen SUKMA Johor bukan sahaja akan terpahat utuh dalam minda dan sanubari setiap Bangsa Johor, tetapi lebih daripada itu adalah menjadi inspirasi yang meniupkan api semangat untuk kami semua mengikut jejak langkah yang sama untuk terus memberi komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi. Dari segi cetusan idea, pemikiran dan kudrat bagi memastikan Agenda Maju Johor 2030 akan tercapai.

Yang Berhormat Datuk Speaker. Maharani juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar negeri Johor dan seluruh EXCO kerajaan negeri Johor di atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor pada tahun 2023 yang bertemakan, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”. Terhasilnya satu dokumen yang natijahnya lengkap mengharapkan Agenda Maju Johor yang digagaskan menjadi tunjang kepada kecemerlangan negeri Johor, sebuah negeri yang maju bakal menjadi realiti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah kepada kerajaan negeri Johor Maharani prihatin atas penghargaan ini. Hasil prestasi ekonomi yang memberangsangkan sebagaimana yang

dibuktikan oleh data dan statistik. Yang pertama, Johor mencatat penerimaan pelaburan tertinggi di Malaysia sebanyak RM60 bilion. Yang keduanya, jumlah eksport Johor sehingga September 2022 berjumlah RM246 bilion. Peningkatan 42% berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak RM173 bilion. Yang ketiga, jumlah import pula meningkat kepada RM209 bilion iaitu peningkatan sebanyak 49% daripada RM140 bilion pada tahun sebelumnya. Yang keempat, sektor pembinaan mencatatkan tanda-tanda pemulihan bagi separuh tahun dengan nilai berjumlah RM5.68 bilion berbanding RM5.15 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Yang kelima, kadar pengangguran kini telah mencatatkan penurunan sebanyak 4% pada suku ketiga tahun 2021 kepada hanya 2.5% pada tahun ini. Kadar ini juga merupakan yang terendah berbanding negeri-negeri yang lain. Ini semua adalah berkat kesungguhan dan kewibawaan pimpinan negeri Johor dan Ahli-Ahli EXCOnya, tahniah diucapkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Maharani menyentuh beberapa perkara di dalam perbahasan kali ini. Yang pertama, berkenaan dengan tadbir urus kerajaan. Untuk meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam dan modal insan, sebagaimana firman Allah SWT, dalam surah al-Zariat ayat 56, (ayat). Yang bermaksud, “Dan ingatlah Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu”. Ayat ini jelas menunjukkan matlamat penciptaan manusia semata-mata untuk menghambakan diri kepada Allah dan dengan makrifat mentauhidkan dan melakukan segala suruhan meninggalkan segala larangan. Menyentuh tentang pekerjaan, ia adalah sebahagian daripada kehidupan, justeru kerja ini adalah merupakan ibadah semata-mata kerana Allah SWT dan mengharapkan keikhlasan dan penghargaan daripadaNya.

Peringatan ini saya maksudkan dengan bekerja sebagai ibadah. Meningkatkan sikap integriti ia dikemukakan semata-mata untuk memotivasikan kita seterusnya melonjakkan prestasi kerja kita sehingga mencapai ke tahap yang tertinggi dan integriti. Pembinaan kepada pentadbiran baharu memberi isyarat bahawa terdapat keperluan untuk mereformasikan kerajaan secara menyeluruh melalui tadbir urus demokratik yang lebih kukuh. Agenda reformasi tersebut memerlukan standard etika, tatalaku dan tadbir urus yang tinggi pada semua peringkat untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagi memperolehi semua kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Dalam hal ini, nilai dan konsep kedaulatan undang-undang, integriti, ekuiti dan inklusif akan diterap pada semua peringkat kerajaan. Di samping itu, mekanisme bersesuaian akan dilaksanakan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa. Pada yang sama perkhidmatan awam perlu menyampaikan perkhidmatan yang saksama serta berkualiti secara cekap, berkesan menerusi usaha sama bersama dedikasi dan kreativiti dengan memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi keutamaan rakyat.

Dalam tempoh kajian semula 2016 hingga 2017, usaha telah dilaksanakan untuk mentransformasi penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek seperti birokrasi, pendigitalan, pengurusan bakat dan projek serta perkhidmatan Pihak Berkuasa iaitu PBT. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, impak yang dicapai untuk menambah baik perkhidmatan awam secara menyeluruh dan mampan telah dikekang antaranya oleh tuduhan rasuah, kurang ketelusan dan akauntabiliti serta tidak cekap urus pengurusan sumber kewangan dan seumpamanya.

Isu dan cabaran ini telah menjejaskan kredibiliti dan kebolehpercayaan institusi awam. Oleh itu, di bawah pemerintahan kerajaan negeri Johor, prinsip tadbir urus yang baik, keterbukaan dan agihan secara adil melalui proses demokrasi yang telus akan dijadikan asas penting untuk merencanakan keutamaan baharu dalam Agenda Pembangunan. Harapan Maharani, peruntukan kepada pembangkang dapat diagihkan secara adil dan saksama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sesuai dengan keperluan semasa institusi meningkatkan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat. Ketua kampung dan ketua masyarakat perlu di transformasi agar dapat melahirkan kepimpinan yang profesional berketerampilan. Justeru itu, sebanyak peruntukan RM500,000.00 diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif ini. Maharani serius bagi merealisasikan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat. Maharani mencadangkan penyelarasan kenaikan elaun sebagaimana daripada YB-YB yang lain supaya pendapatan sebanyak RM1,500.00 sebulan ini perlu dilaksanakan. Selain daripada itu, peruntukan dana kepada Ketua Kampung untuk pergerakan operasi bulanan serta tahunan bagi melaksanakan kebajikan rakyat dan melahirkan penempatan kampung yang berkualiti selaras dengan Johor Maju 2030 juga perlu dititikberatkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga mencadangkan memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai kerajaan yang prihatin dan paling dekat dengan rakyat, perlu terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan seiring dengan kemajuan sosioekonomi dan teknologi. Walau bagaimanapun, PBT menghadapi kesukaran dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti dan tepat pada masa memenuhi kehendak rakyat berikutan kekangan kewangan dan keupayaan dalam tempoh pembinaan negeri maju, usaha akan diambil untuk memperkasakan PBT. Maka, peningkatan kepantasan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan mencapai outcome pembangunan yang berkesan untuk daerah-daerah negeri Johor secara menyeluruh hendaklah dijalankan dengan seadil-adilnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh pembangunan ekonomi, kita perlu segera bertindak untuk mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa yang sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak-anak generasi hadapan. Maka bagi ke arah Johor Maju yang lebih baik, Bajet 2023 akan dipandu oleh 3R iaitu responsive, responsible, reformist dengan izin atau yang lebih bertanggungjawab. Cadangan Maharani yang pertama, Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada rakyat negeri Johor keseluruhan bukan sekadar kumpulan B40, tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua lapisan masyarakat.

Yang kedua, Bajet 2023 mestilah bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fizikal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fizikal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang. Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan kerajaan negeri dengan kesan pelaburan yang tinggi di Malaysia bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang. Yang ketiga, Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan disamping menyokong industri negeri Johor Maju 2030 yang kukuh melalui pelaburan strategik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya memperkukuhkan integriti dan menaik taraf sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Meningkatkan integriti dan akauntabiliti sebagai usaha berterus ke arah meningkatkan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang. Isu berkaitan integriti dan akauntabiliti perlu ditangani secara menyeluruh dan konsisten. Dalam tempoh kajian semula kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah iaitu SPI jatuh ke kedudukan ke-62 daripada 180 negara pada tahun 2017 berbanding ke-55 daripada 176 negara pada tahun 2016. Penurunan ini memerlukan pelaksanaan langkah proaktif yang lebih tegas dan teliti untuk mengukuhkan semula komitmen Malaysia ke arah memerangi rasuah. Memerangi rasuah adalah perkara yang mesti diutamakan. Maka Maharani meletakkan 3 strategi akan dilaksanakan untuk meningkatkan integriti dan akauntabiliti. Yang pertama, memperkukuhkan agenda pencegahan rasuah. Yang kedua, memupuk amal murni dan kerja beretika dan yang ketiga, meningkatkan ketulusan. Dengan usaha kerajaan Johor, dengan inisiatif 4 persijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah dengan peruntukan RM100,000.00 menjamin kerajaan negeri yang beretika dan berintegrasi menghasilkan produktiviti penjawat awam yang baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras kedua berkaitan dengan pembangunan ekonomi. Memperkasakan industri pelancongan. Memperkasa industri pelancongan adalah merupakan satu aspek yang cukup baik untuk dilaksanakan pada hari ini. Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada tahun, pada April 2022 telah memberi impak kepada peningkatan bilangan pelancong, perkembangan ini berjaya merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan dan kegiatan ekonomi tempatan. Justeru itu, beberapa inisiatif dirangka bagi terus merangsang industri pelancong. Muar adalah merupakan Bandar DiRaja, Muar Bandaraya menjelang 2030, Muar Bandar Pelancongan Warisan. Maharani yakin dan percaya landskap Muar wajar dijadikan pusat pelancongan warisan yang maju dan prihatin.

Warisan dan kemampanan adalah berkongsi tema yang sama dalam konteks warisan dan nilai sejarah, pelancongan bandar warisan merupakan aktiviti ekonomi yang didasarkan pada penggunaan aset fizikal pusat bandar dalam usaha untuk menarik pengunjung. Kemampanan pelancongan warisan memerlukan pengurusan bangunan-bangunan warisan yang diurus dengan teliti memastikan generasi akan datang mewarisi asas sumber yang mencukupi untuk menampung keperluan mereka.

Bangunan-bangunan yang bersejarah perlu, hendaklah dipelihara dengan sebaik-baiknya supaya tidak pupus di arus pembangunan. Muar sebagai bandar lokasi pelancongan warisan berdasarkan sumber rujukan yang mendalam mengenai reka bentuk bandar, imej bandar, lukisan mural yang cukup banyak bertemakan makanan, warisan dan langkah-langkah dalam mewujudkan aktiviti pelancongan. Dengan RM250,000.00 peruntukan untuk naik taraf infrastruktur fasiliti di muzium dan galeri terpilih yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Johor maka Muar sebagai salah satu tempat yang perlu dinaik taraf. Pengiktirafan Muar sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN maka Maharani mengharapkan menaikkan taraf insfrastructure kemudahan awam yang terjamin dan lebih selesa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, teras ketiga jaringan keselamatan sosial. Maharani sekali lagi mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor untuk diteliti bagi membangunkan sebuah sistem yang komprehensif...

Speaker

Yang berhormat, satu minit lagi.

Dalam memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat. Bagi Maharani, mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan dalam jangka masa yang pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri Johor. Melihat kepada fungsi yang lebih mendalam, sistem bersepadu ini juga boleh dijadikan fungsi untuk menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat negeri Johor sejak dari lahir sehinggalah akhir hayat menerusi data rentas agensi katanya.

Perkara yang disebut di akses dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Kerangkuman Sosial pada Oktober 2022 yang lepas. Bagi Maharani, sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan akan menjejaskan kelangsungan hidup dan ketahanan perniagaan. Aspek ini seharusnya perlu ditekankan supaya dapat meningkatkan nilai tambah dan jangka hayat PMKS. Maharani menambah bahawa langkah proaktif tersebut bakal memajukan PMKS menjadi sebuah syarikat penengah yang akhirnya akan menjadi syarikat multinasional iaitu MNC milik tempatan tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara dengan keterlibatan semua pihak daripada kerajaan, swasta, industri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat Johor.

Speaker

Yang Berhormat, masa sudah habis.

Maharani, seminit lagi. Maharani mengharapkan hala tuju kebajikan nelayan pantai di sepanjang daerah Muar dinaik taraf kehidupan, ekosistem sepanjang pantai tidak diganggu serta diwujudkan unit pemantauan dengan kerjasama daripada pihak UTHM Cawangan Pagoh bagi mengekalkan ekosistem dan membolehkan anak-anak nelayan meneruskan pencarian pendapatan yang lebih baik. Dalam bajet negeri Johor ada menyebut tentang pembinaan rumah mampu milik, Mampu Milik Negeri Johor. Maharani mohon supaya projek taman perumahan Islam di Muar dapat diluluskan yang telah pun diluluskan dalam sidang Dewan yang lalu, dapat disegerakan demi memenuhi keperluan rakyat.

Speaker

Yang Berhormat, sila duduk Yang Berhormat.

Terima kasih, dengan ini saya menyokong Bajet Johor 2023. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Maharani. Dijemput Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

(Selawat) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama kali ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia izinNya saya diberi kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2023 pada hari ini.

Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2023 yang menyeluruh dan prihatin bagi mencukupi semua lapisan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Kota Iskandar meneruskan ucapan ini, terlebih dahulu Kota Iskandar ingin merakam sembah ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada 22 hari bulan November yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta Kerabat DiRaja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat agar dapat menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian.

Patik juga merafak sembah dan merakam ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan JDT memenangi 4 piala yang lalu. Dan patik juga merafak sembah dan merakamkan ucapan setinggi tahniah, juga kepada Duli Yang Maha Mulia Major Jeneral Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas pemasyhuran sebagai Canselor di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia yang baharu. Patik juga yakin UTHM ini akan lebih maju dan berwibawa dalam melahirkan ramai modal insan yang berpengetahuan serta berkemahiran, sama-sama membantu melonjakkan kemajuan serta pembangunan negara khususnya negeri Johor Darul Ta’zim. Patik turut merafak sembah dan merakamkan setinggi ucapan tahniah di atas kemasyhuran Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Temenggung Johor di atas pelantikan sebagai Pro-Canselor UTM ini. Dan tidak lupa ucapan tahniah juga kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang juga dilantik sebagai Pro-Canselor UTM yang baharu di umum sebentar yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar ingin merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10. Dan juga Kota Iskandar merakam ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahir Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan Belanjawan 2023 ini, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah menggariskan 6 teras utama dalam memacu usaha pemulihan ekonomi negeri demi memberi manfaat dan kesejahteraan Bangsa Johor. Namun usaha ini bukan hanya digalas oleh kerajaan negeri malah keseluruhan jenteranya termasuklah golongan pemimpin, agensi, pemain industri, pemegang taruh dan rakyat sekalian. Dalam kita melaksanakan semua usaha tersebut, terdapat beberapa isu dan perkara yang harus diberikan perhatian dan tumpuan utama dalam DUN Kota Iskandar seperti yang saya nyatakan berikut. Pertama, dalam konteks keselamatan dan kedaulatan negara. Isu keselamatan dan kedaulatan negara ini amat penting dan harap diberi perhatian utama oleh pihak kerajaan. Sama ada kerajaan negeri atau pun kerajaan persekutuan. Ini kerana ia merupakan maruah bagi setiap negara yang merdeka seperti Malaysia. Aspek keselamatan dan kedaulatan negara ini tidak harus dikompromi kerana ia jika tidak dipantau dan dijaga dengan baik maruah negara bukan sahaja diinjak-injak malah bakal kehilangan haknya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada 24 Oktober yang lalu, berlaku insiden sekumpulan nelayan kita di perairan Selat Tebrau yang berhampiran dengan Second Link di Kota Iskandar, baru-baru ini dihalau dan dilontarkan dengan kata kesat oleh pasukan pengawal pantai jiran, mohon izin police coast guard yang amat tidak wajar ini. Masakan nelayan kita ini yang sudah berpuluh tahun malah mewarisi pekerjaan nenek moyang mereka sebagai nelayan tradisi diperlakukan sedemikian rupa. Insiden ini tersebut bukan sahaja tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku malah mencerminkan imej dan maruah rakyat kita dihina. Mereka ini bukanlah penceroboh Datuk Speaker, tetapi hanya ingin mencari rezeki hasil bumi ciptaan Allah SWT. Puluhan tahun mereka mencari rezeki di kawasan tersebut, selama ini di situlah medan mereka mencari rezeki tetapi kenapa tiba-tiba mereka dihalau dan dihina dengan kata-kata yang kesat. Tindakan pihak berkuasa negara jiran itu, amat tidak wajar dan kerajaan harus mengambil tindakan segera dengan menghantar surat bantahan kepada negara berkenaan. Isu ini tidak boleh senyap begitu sahaja kerana tanpa ada bantahan seolah-olah mengaku kesalahan rakyat kita sedang selama ini disitulah mereka mencari rezeki dan melabuhkan jaring, menjala dan memancing. Sikap berdiam diri boleh dianggap tidak peduli dan boleh memberi kesan implikasi yang besar dan buruk pada masa akan datang. Jangan sampai negara tersebut bersikap ibarat diberi paha, diberi betis hendak paha. Lama kelamaan tuan tanah kehilangan hak akibat kecuaian dan kelekaan.

Saya ingin menyentuh tentang sejarah. Pencerobohan ruang udara ketika lebih kurang 15 tahun yang lalu, ruang udara kita di ceroboh, DUN Perling tiada pula hari ini. Sampailah ke peringkat DUN Perling. Tetapi oleh kerana bantahan kita ketika itu, pergerakan Pemuda menyuarakan bantahan, perundingan GTG dengan Singapura akhirnya pencerobohan ruang udara dapat dielakkan. Sebab itulah, ketika ini di Dewan yang mulia ini, kita tidak dengar lagi dentuman, dentuman jet-jet pejuang daripada negeri Singapura.

Pengajaran sudah terbukti di depan mata, apabila kehilangan Batu Putih, kita menangis darah sekalipun, menuntut semua hak ke atasnya tidak akan mampu mengembalikan hak tersebut. Nasi sudah menjadi bubur. Apakah kita sanggup pula kehilangan hak asasi ke atas Selat Tebrau yang sememangnya sebahagian bersama hak kita. Apakah kita ingin melihat nama Selat Tebrau atau Selat Johor ditukarkan menjadi Selat Temasek?. Saya ulang sekali lagi. Apakah kita sanggup melihat nama Selat Tebrau atau Selat Johor ditukar menjadi Selat Temasek?. Kota Iskandar akan terus ke hadapan untuk mempertahankan hak kita ini.

Saya membangkitkan perkara ini, bukan bertujuan untuk menimbulkan seteru dengan negara jiran. Tetapi dengan niat mempertahankannya sememangnya menjadi hak milik kita malah, saya sendiri Datuk Speaker, pernah menjadi nelayan dan sehingga kini saya menjadi ahli Persatuan Nelayan Johor Selatan. Dan saya tahu kawasan itu sememangnya kawasan perairan kita. Jika nelayan-nelayan ini dihina, ibarat hinaan itu juga ditujukan kepada kita. Jadi kita jangan sambil lewa dan ambil mudah isu ini kerana ia maruah dan kedaulatan

negara. Kota Iskandar pada hari ini, mencadangkan kepada kerajaan negeri membuat semula semakan pemetaan persempadanan perairan di antara Singapura dan Johor khasnya di kawasan Perairan Selat Tebrau. Bayangkanlah Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, Jambatan Second Link itu mempunyai lebih 20 tiang. Hanya 3 tiang sahaja yang dimiliki oleh Singapura. Adakah laluan yang pada sekarang ini milik Singapore ataupun Singapura?. Ini yang menjadi tanda soal kita sebagai rakyat Bangsa Johor di negeri Johor yang bertuah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang keduanya dalam aspek kesihatan. Seiring dengan pesat pembangunan bertambah jumlah. Aspek kesihatan Iskandar Puteri sewajarnya dipertingkatkan. Untuk makluman semua, Iskandar Puteri ini hanya mempunyai Klinik Kesihatan Kecil Gelang Patah yang sudah usang dibina sejak tahun 60-an. Nyata Klinik Kesihatan tidak mampu menampung keperluan warganya dengan kemudahan yang sangat terhad, terbatas dan telah menjejaskan pembangunan usaha naik taraf bangunan tersebut.

Justeru, Kota Iskandar khususnya memerlukan sebuah hostel kerajaan yang baru dan moden untuk menampung keperluan warganya. Di klinik sedia ada ini, kemudahan bilik rawatan tidak mencukupi serta sempit. Kemudahan awam tempat menunggu di bawah khemah sementara, tandasnya hanya sebuah dan kenderaan awam terpaksa di letak di bahu jalan. Taraf kesihatan rakyat harus seiring dengan kemajuan pesat negeri dan negara. Apanya, apalah gunanya negara maju tetapi kesihatan masih di takuk yang lama. Semoga perkara ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya dan pembinaan dimasukkan dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia yang Ke-12. Ya memang benar, ada beberapa hospital swasta yang menawar perkhidmatan rawatan kepada warga Kota Iskandar namun semuanya mampu diberi rawatan yang pastinya jauh lebih tinggi berbanding dengan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pembinaan Sultan Aminah HSA 2 sehingga kini masih tertangguh ekoran beberapa perkara terutamanya isu tanah belum selesai. Saya mencadangkan, minta maaf kepada Yang Berhormat Kempas supaya lokasi HSA ini dipindahkan ke kawasan Kota Iskandar ibarat besar tapak tangan, nyiru Kota Iskandar tadahkan. Malah kita ingin maklumkan pada sidang Dewan yang mulia ini. Lokasi bukan satu masalah kerana pihak UEM Sunrise banyak tanah beribu ekar berada di kawasan Kota Iskandar ini dan kita boleh rundingkan supaya HSA ini dipindah kepada Kota Iskandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks pendidikan. Saya juga ingin mencadangkan supaya Kolej Tingkatan Enam dapat dibina di kawasan Kota Iskandar. Kolej Tingkatan ini amat diperlukan kerana bukan semua anak kita lepasan tingkatan lima dapat dan mampu mengikuti pengajian ke peringkat asasi atau Diploma di pelbagai universiti. Jadi kolej tingkatan ini, dapat menampung platform bagi mereka mendapatkan pendidikan pra universiti. Kos pengajiannya juga lebih rendah berbanding dengan peringkat universiti kerana bukan semua keluarga mampu menampung kos tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks kemudahan dan kelestarian kampung. Memang gah didengar apabila banyak kampung tradisi kini juga ada di Bandaraya Iskandar Puteri malah masyarakat turut mendapat pelbagai limpahan dan manfaat hasil daripada pembangunan pesat ini. Jika dahulu suasana kampung banyak kekurangan, namun kini pelbagai kemudahan dapat dinikmati warganya. Namun dalam rakyat melayari kehidupan bermasyarakat, masih beberapa kekurangan membelenggu misalnya isu bekalan air di kampung masih berada di tahap yang tidak memuaskan.

Saya suka memberi contoh, contoh Kampung Sungai Melayu yang merupakan sebuah kampung tradisional yang terlibat dengan ekopelancongan. Kampung ini juga berdekatan dengan Pusat Kota Iskandar, hanya sepuluh kilometer sahaja tetapi menghadapi masalah gangguan bekalan air hampir sudah tujuh bulan berlarutan. Akibat kebocoran paip fiber yang berusia lebih 45 tahun yang melintasi dari Kampung Sungai Danga ke Kampung Sungai Melayu melalui dasar sungai. Yang mana Sungai Melayu mempunyai 200 rumah penduduk,

900 orang penduduk. 200 rumah mempunyai sebuah sekolah, klinik desa dan masjid sangat-sangat memerlukan air.

Pada waktu sekarang pihak penduduk hanya mengharapkan ihsan SAJ menghantar air menggunakan tong statik yang disediakan. Isu kebocoran bekalan air akibat paip usang ini mesti diganti segera supaya bekalan air bersih dapat disalurkan kepada rakyat. Malu kita duduk kawasan bandar raya tetapi bekalan air sering terganggu dek kebocoran paip. Takkanlah kita nak mandi dan membasuh di sungai sedangkan ini zaman digitalisasi. Apatah lagi Kota Iskandar yang kita banggakan merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri yang canggih dan wajar dibanggakan. Kota Iskandar mengharapkan agar kesihatan, pihak kerajaan dapat mengatasi masalah ini dengan segera dengan pihak SAJ Ranhill Berhad supaya penduduk dapat menikmati semula air.

Seiring dengan taraf sebuah bandar raya banyak kampung tradisi menerima limpahan pembangunan tetapi banyak dah berubah khususnya dalam aspek pembangunan fizikal. Kini seiring dengan status bandar raya, kategori cukai harta turut berubah namun usahlah kategorinya di sama dengan jumlah cukai harta premis yang berada di bandar. Tindakan menyamakan kategori ini tidak adil dan amat membebankan rakyat di masa akan datang. Nilai cukai harta di kampung tradisi ini seharusnya lebih rendah dan diberi kategori tersendiri dari segi keistimewaannya. Perkara ini harus diberikan perhatian supaya tidak membebankan penduduk dan rakyat di kawasan yang akan memasuki pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Saya beri contoh sekali lagi, walaupun Sungai Melayu kampung tempat lahir saya dan merupakan salah satu kampung tradisional di kalangan 15 kampung tradisional yang berada di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Apa yang berlaku, hari ni saya bawa satu salinan yang menyatakan di sini bahawa tidak kisahlah, cukai harta di Kampung Sungai Melayu sama dengan rumah saya di kawasan Mutiara Rini. Adakah ini adil kerana Sungai Melayu ini, kampung tradisional ini, infranya tak cukup. Tanah dimiliki oleh pemilik rumah. Playground tak ada, lampu, lampu kampung, jalan sempit. Adakah sama nilai cukai harta ini dengan mereka-mereka yang hidup di bandar khasnya di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Saya bekas Ahli Majlis, pernah kita usahakan dalam Jawatankuasa Penilaian Cukai Harta bersetuju bahawa kampung-kampung yang ada di dalam kawasan Iskandar Puteri yang melibatkan di kampung tradisional di kategorikan kampung atau pun cukai harta kampung tradisional moden. Jadi mereka berhak mendapatkan insentif-insentif yang lain. Jadi tidak adil. Saya harap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dapat mengambil kira hal ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri. Saya hanya ingin menyentuh isu perumahan. Kota Iskandar sentiasa menyokong usaha pihak kerajaan untuk membina Rumah Mampu Milik atau Mampu Biaya di merata negeri Johor, khasnya di Kota Iskandar ini masih perlu banyak rumah-rumah murah yang sepatutnya dibina di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Sebelum PRN yang lalu, YB DUN Benut bekas mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Seri Ir. Hasni Mohamad telah melancarkan satu program Rumah Makmur Johor yang memiliki 2,222 unit. Saya bawa Mengkibol ke dia pun ada bukti, saya pun ada bukti. Cantik rumah dia. RM150,000.00, RM200,000.00 dan RM300,000.00. Alangkah indah dan baiknya saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri kenapa projek ini masih tidak dapat dilaksanakan. Saya sebagai ADUN Kota Iskandar sentiasa dihubungi oleh rakyat-rakyat yang ketika di launching, mohon bicara Datuk Speaker. Ketika dilancarkan macam goreng pisang panas permintaannya terhadap Rumah Mampu Milik ini yang mana didirikan secara landed ataupun berteres. Saya minta kepada EXCO yang berkenaan dan kerajaan negeri dapat memberi jawapan dan maklum balas yang jelas untuk disampaikan kepada rakyat khasnya di kawasan Kota Iskandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin percepatkan mengenai jalan raya dan lalu lintas. Seiring dengan Kota Iskandar yang pesat membangun ini. Kesesakan lalu lintas pada waktu puncak menjadi isu perlu ditangani. Kesesakan lalu lintas sebagai contoh, simpang empat lampu isyarat di Taman Seri Pulai, Taman Teratai, Taman Pulai Perdana, Taman Pulai Jaya, Taman Pulai Mesra perlu diambilkan segera, dibaiki jalan raya rosak disini dengan kadar segera. Jalan Ulu Choh ke Kampung Gelang Patah ke Gelang Patah juga perlu dibaiki kerana mengalami kerosakan yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Saya ingin juga bertanya kepada kerajaan negeri khasnya di bawah JKR. Ada satu projek J4, Jalan Besi, Jambatan Besi yang sudah 5 tahun sejak 2018 tidak dapat dilaksanakan lagi. Saya dimaklumkan hampir 3 atau 4 kontraktor yang telah berminat tapi diterminate. Alangkah malunya, kawasan yang pesat ini yang menghubung yang berdekat dengan Singapura, kerja-kerja tender ini tak dapat dilaksanakan sebentar lagi. Kita hendak supaya ada cahaya di hujung terowong...

Speaker

Yang Berhormat.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Akhir sekali.

Speaker

Satu minit lagi. Satu minit lagi.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Ok. Dalam konteks Orang Muda Johor, Kota Iskandar ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih Kota Iskandar sebagai tempat pilihan Tunku Mahkota Johor Youth Center, TMIYC yang ketiga negeri Johor yang mana kos pembinaannya berjumlah RM38 juta. Terima kasih kepada IRDA, terima kasih kepada MYP dan setinggi penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Major Jeneral Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kesudian menyempurnakan Majlis Pecah Tanah TMIYC di Kompleks Sukan Iskandar Puteri pada 4 Disember yang lalu. Di kesempatan ini juga Kota Iskandar mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas kelulusan peruntukan RM2.5 juta kerja landskap dan pengindahan seni arca Iskandar Puteri dan RM2.5 juta bagi kerja pengindahan Kampung Sungai Melayu dan RM3.5 juta pengindahan Persimpangan Bertingkat Lebuh raya Pantai fasa dua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri ucapan saya, Kota Iskandar sekali lagi merafak sembah menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas naungan Baginda menjadikan negeri Johor Darul Takzim amat dicintai kekal dan aman damai serta harmoni. Semoga Tuanku dan kerabat Diraja sentiasa dalam lindungan rahmat Allah jua. Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tahniah dan syabas saya ucapkan di atas pembentangan bajet Belanjawan 2023 dan terima kasih saya termasuk kepada ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan termasuk negeri dan federal yang terlibat membawa manfaat besar kepada lapisan rakyat Bangsa Johor yang kita sayangi. Kota Iskandar kota lestari, menjadi kesayangan semua warganya, Maju Johor slogan diberi, semoga manfaat kekal selamanya. Dengan ini Kota Iskandar mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Kota Iskandar. Seterusnya Mahkota ada ke? Oh ada. Ok, dijemput YB Mahkota, silakan.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mawar merah dalam jambangan, cantik diletak di atas para, mohon Mahkota ambil giliran, bahas demi bangsa negara. Izinkan Mahkota turut serta dalam membahaskan Belanjawan Johor 2023.

Sebelum meneruskan perbahasan ini, terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya, patik mewakili seluruh rakyat DUN Mahkota merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun

keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Al-marhum Sultan Iskandar yang jatuh pada 22 November yang lalu. Moga Allah SWT lanjutkan usia Baginda dan berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus menaungi Bangsa Johor sekalian. Patik juga merakamkan junjungan kasih dan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah memartabatkan pasukan JDT sebagai pasukan yang terkuat dalam negara, sekali gus terjangkit kehebatan JDT dalam SUKMA. Tahniah juga kepada anakanda Yang Berhormat EXCO Belia Dan Sukan. Mahkota mengucapkan tahniah di atas terbentuknya kerajaan perpaduan peringkat persekutuan dan tahniah kepada Perdana Menteri dan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri satu dan dua serta barisan kabinet. Berjuanglah demi untuk mempertahankan kedaulatan negara. Takziah kepada Yang Berhormat ADUN Sri Medan dan ADUN Kahang di atas kembalinya keluarga terdekat tempoh hari. Pertama kali, Mahkota ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan kerajaan Johor yang dikepalai oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan sekalian, keadaan Dewan begitu tenang, kurang soalan-soalan dan perbahasan yang panas serta usul-usul provok. Tapi Mahkota terasa macam berada dalam Majlis Tilawah al-Quran bila pembentang Bajet 2023 kedengaran alunan macam al-Quran, bacaan al-Quran walaupun dalam keadaan nada yang kurang ajinomoto dan masih banyak lagi yang perlu ditambah perasanya. Tapi ianya kelihatan enak bila disajikan dengan peruntukan atau bajet yang luar biasa. Bukan mudah untuk perbaiki kewangan yang ditinggalkan mereka yang kurang mahir dalam akauntan. Kelebihan Johor Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor seorang pengamal kira-kira, bila satu sen keluar semua mesti ada nilai dan pulangan. Sebab itu ekonomi bertambah. Barisan Nasional mempunyai dua Menteri Besar yang hebat-hebat sebelum ini. Seorang jurutera, pantang tengok benda yang tak tegak, mahupun rosak, pasti bantu mana-mana Wakil Rakyat yang memerlukan perbaikan infra dan sebagainya. Kini seorang akauntan, lagi dahsyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan sekalian, Alhamdulillah Belanjawan Johor 2023 yang bertemakan “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat” yang dibentangkan pada hari Khamis lalu berlangsung dengan lancar, malah menjadi aspirasi kesinambungan untuk perjuangan kita ke arah merealisasikan pertumbuhan ekonomi Johor yang gemilang pada masa hadapan. Sesungguhnya Belanjawan Negeri Johor merealitikan cerminan sebuah kerajaan yang sentiasa cakna, dengan keutamaan rakyat, apa yang penting langkah berhemah ini bukan sahaja mampu diterjemahkan, kestabilan politik, tetapi jauh lebih utama memastikan perancangan kepada gerak kerja mantap demi memperkasa kesejahteraan Bangsa Johor. Inilah kesiapsiagaan kerajaan yang komited menyediakan perancangan ekonomi mampan, berdaya tahan serta memiliki hala tuju jelas bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang, apatah lagi ekonomi Malaysia turut dijangka bakal berhadapan dengan impak ketidaktentuan ekonomi global yang tentunya akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor juga. Kerajaan negeri Johor telah membuktikan betapa mandat rakyat terhadap Barisan Nasional adalah amanah yang perlu dipikul. Apabila tindakan di laksana demi kepentingan akhlak, sememangnya selepas kita melalui Pilihan raya Negeri Johor pada Mac lalu dan sehingga ke hari ini ternyata negeri Johor terus proaktif dan rancak memastikan ekonomi pulih malah kini Johor mampu untuk menunjukkan prestasi memberangsangkan. Syabas dan tahniah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur Alhamdulillah dan moga kita terus dilimpahi keberkatan atas usaha murni yang memberi manfaat, melimpah ruah kepada rakyat sekalian. Sehubungan dengan itu, Mahkota terpanggil untuk menyeru semua Ahli Dewan Negeri, pentadbir urus kerajaan dan semua para pemimpin sama ada yang dalam Dewan ini atau di luar Dewan untuk sama-sama menyokong setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ke arah pembangunan kesejahteraan. Hari ini di peringkat persekutuan, kita adalah kerajaan perpaduan selepas PRU-15. Maka kita terjemahkan konsep tersebut ke arah kesejahteraan dan kemajuan Bangsa Johor. Janganlah di dalam Dewan bersorak

bertepuk, namun sebaliknya berlaku apabila bertindak tidak sehaluan dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat. Empat puteri yang dilahirkan melalui kemenangan dalam PRU-15 bagi negeri Johor telah cukup untuk membantu Menteri Besar Johor dalam menyelesaikan dan memakmurkan negeri Johor. Mahkota perasan Wakil Rakyat yang sebelah sana, seramai lebih kurang 15 orang tidak menampakkan kesungguhan dalam membentuk kerajaan perpaduan peringkat persekutuan. Bila bentang Bajet 2023, macam tak dengar sokongan yang diberikan kepada kerajaan Johor, Barisan Nasional. Langsung tak angkat tangan persetujuan. Adakah perkongsian kuasa hanya berlaku di peringkat persekutuan? Adakah kita ini kawan dalam lawan atau pada ketika ini masih lagi malu-malu kucing. Moga kedudukan di sebelah kanan dan kiri akan membawa kepada percintaan selepas bernikah. Moga restu dari ayah bonda di peringkat persekutuan membawa lebih banyak idea demi untuk kemajuan dan kegemilangan Johor itu sendiri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selari dengan usaha dan perancangan mantap yang telah digariskan melalui Belanjawan 2023 ini, Mahkota ingin menyentuh berkaitan dengan inisiatif dalam strategi bantuan pendidikan. Apa yang pasti, pendidikan adalah aspek utama, malah dianggap sebagai pintu keluar daripada kemelaratan dan beralih kepada kehidupan yang lebih baik. Dalam hal ini, keupayaan yang diangkat menerusi Belanjawan 2023 turut merangkumkan usaha-usaha memastikan bantuan pentadbiran di manfaat sepenuhnya kepada pelbagai saluran untuk sama-sama dinikmati. Biar pun di dalamnya turut meliputi aspek pendidikan, namun Mahkota mencadangkan agar pelaksanaannya bersifat menyeluruh, iaitu tidak ada golongan yang tercicir dan bukan hanya kepada golongan tertentu. Apa yang pasti golongan B40 wajar mendapat pembelaan khususnya anak-anak yang kurang cemerlang dalam bidang akademik ditarik agar mereka dapat bersama-sama dalam arus pembangunan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, lebih dari itu, apa-apa perancangan untuk pendidikan jangka pendek sama ada kursus, bengkel atau atas nama apa sekalipun perlulah dibuat secara terancang dan bukan sekadar melepas batuk di tangga, malah perlu di laksana berkala dengan pemantauan berterusan agar kejayaan dilakukan demi impak maksima kepada golongan anak Bangsa Johor. Apa yang pasti inisiatif bantuan pendidikan sebagai mana terkandung dalam Belanjawan 2023, Mahkota mencadangkan perlulah mempunyai peruntukan khas lebih besar kepada semua peringkat, bukan saja anggota JCS atau apa-apa NGO, malah juga golongan belia dari pelbagai peringkat ini, bagi memastikan Bangsa Johor secara holistik tidak terkecuali dalam usaha perancangan ke arah pembentukan masyarakat berilmu. Hikayat berbilang di negeri junjungan, jadi ingatan zaman berzaman, mari mantapkan dunia pendidikan, semoga Johor beroleh kemajuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota terpanggil untuk menyentuh berkaitan Teras Kedua Pembangunan Ekonomi menerusi strategi kedua di bawah inisiatif kedua berkaitan Program Latihan Kemahiran Johor. Dalam hal ini, Program Latihan Kemahiran Johor yang diaplikasi amat memberangsangkan. Namun begitu, pemantauan yang teliti berkaitan pelaksanaannya perlulah disusuli secara aktif. Ini kerana persoalan berkaitan pencapaian pra mahir yang dilakukan mestilah berasaskan kepada keperluan semasa dan permintaan pasaran. Mahkota mencadangkan mereka bukan sahaja diberi ilmu, tapi yang paling penting, pembiayaan untuk memulakan langkah baru dalam mengembangkan perniagaan mereka. Mahkota berharap skim geran perlu diteruskan, malah diperluaskan dan ditambah pemberiannya selaras dengan keadaan hari ini supaya peniaga dapat memperbaiki ekonomi selepas COVID-19. Bantuan seperti Satu Azam, bekalan peralatan perniagaan hendaklah diteruskan dan ditambahbaikkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya berkaitan penambah baik dan pemerkasaan sektor pelancongan, Mahkota mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang cakna berkaitan hal ini, biar pun masih muda, bukan umurnya, tapi kekacakannya yang muda. Namun syabas kerana dapat mengusai keseluruhan kawasan pelancongan negeri Johor termasuklah daerah Kluang. Untuk ini Mahkota ingin fokuskan

kepada trek pendakian Gunung Lambak. Bunyinya indah dan adalah peruntukan untuk Kluang, namun peruntukannya terlalu sedikit. Harapan dan cadangan Mahkota agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menyalurkan lebih banyak, apatah lagi aktiviti pendakian semakin mendapat tempat di kalangan rakyat. Dalam hal lain, Mahkota ingin menyentuh berkaitan Insentif Ketiga Bangsa Johor, Bebas Dadah. Sememangnya ini adalah langkah yang amat baik malah sewajar Agensi Anti Dadah Kebangsaan terus diperkasakan dan digerakkan, bukan hanya kepada mangsa atau golongan penagih. Mahkota mencadangkan supaya AADK juga melibatkan anggota keluarga terbabit dalam usaha memberikan kefahaman untuk bersama-sama mengembalikan bekas-bekas penagih ke pangkuan masyarakat. Tak perlulah AADK membuat pertandingan memasak dan sebagainya. Tumpuan khusus mesti kepada keluarga penagih dan seterusnya menghindarkan keluarga penagih terlibat sama dengan perkara yang menjadi sampah masyarakat. Inilah usaha bersepadu yang mesti dilakukan ke arah memberikan pendidikan pencegahan dan kesedaran awal mengenai bahaya dadah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tepi pantai pohon kelapa, kain belacu sikat kain kasa, DUN dijaga tidak dilupa, rakyat kawasan sentiasa diingati. Mahkota ingin mengemukakan beberapa masalah dalam kawasan Mahkota. Masalah banjir, Mahkota ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan khasnya yang dalam daerah Kluang yang sentiasa peka dan memberikan kerjasama kepada ADUN, ADUN dalam menyelesaikan pelbagai masalah, khasnya dalam DUN Mahkota. Keadaan banjir semakin berkurangan, tapi masih perlu lagi penambah baik. Harapan Mahkota supaya pihak jabatan-jabatan menumpukan kepada agenda sifar banjir di dalam seluruh kawasan Mahkota. Peranan kesepaduan dan kerjasama semua jabatan akan berjaya menemui jalan penyelesaian, lagi cepat selesai kalau Yang Amat Berhormat Menteri Besar tambahkan ataupun turunkan peruntukan yang lebih besar khasnya di dalam kawasan Mahkota bagi keselesaan rakyat khasnya dan kebanyakan kawasan banjir ini telah alah di dalam kawasan kampung-kampung Melayu, yang menjadi penyokong tegar kepada Barisan Nasional. Adalah berpunca daripada, banjir ini adalah berpunca daripada kawasan perumahan baru di mana perubahan bertambah, tapi parit masih lagi di takuk lama. Keindahan landskap. Mahkota merakamkan ucapan terima kasih di atas pelbagai bentuk keceriaan, keindahan dalam kawasan Mahkota. Tapi malangnya kesemuanya telah mula ke arah kehancuran atau dengan kata lain dah mula tua. Sehubungan dengan itu, Mahkota mengharapkan supaya perkara-perkara ini harus dititikberatkan, diawasi atau diselenggarakan dengan sebaik mungkin umpama manusia, semakin tua kalau dihias dan dijaga secara berkala pasti ada yang teringin. Alhamdulillah esok genap 62 tahun umur Mahkota, Yang Berhormat Datuk Speaker (Dewan bertepuk.) Tapi masih boleh berlari lagi, cuma belum bersuami.

Yang Berhormat Layang-Layang selalu sebut macam baru umur 26 tahun, sebab itu saya suka duduk sebelah Layang-Layang sebab mungkin agaknya dia nampak yang lain lebih tua daripada Layang-Layang daripada yang di Kluang. Itu kehebatan orang Kluang.

Mahkota mencadangkan supaya keindahan ini dipelihara iaitu melibatkan proses merancang, mereka bentuk, melaksana dan menguruskan alam sekitar untuk keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat dan sentiasa di pantau oleh jabatan yang berkenaan. Biarpun kemajuan dan pembangunan menjadi keutamaan, namun keseimbangan alam sekitar tetap dan harus dijaga dengan sebaik mungkin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota mohon Yang Berhormat EXCO KPKT datanglah ke Kluang, kesian orang Kluang. Bangunan rumah pangsa di Jalan Rambutan memang lama sebelum saya dilahirkan rasanya. Tetapi, yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana ialah Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, lama bangunan ini. Bangunan tersergam indah di tengah-tengah bandar Kluang, keadaan cat masih ok lah. Ok lah itu cakap orang daripada sudut bukan orang FELDA, orang FELDA lain cara cakap dia pasal Bukit Batu banyak FELDA, tapi ok lah macam untuk orang kawasan yang jauh di pedalaman. Tapi bumbungnya bocor, sistem kumbahan teruk, saluran najis masuk dalam

longkang, tak tau di mana kawasan DUN yang ada saluran najis, kumbahan najis masuk dalam longkang, tidak ada sistem yang baik. Menyebabkan persekitaran tidak sihat dan bau yang amat harum. Perlu disegerakan selenggaraan longkang, sistem kumbahan, infra dan sebagainya. Mohon dikemas kini, mana yang kosong dipenuhi, bagi rumah yang di bawah masih kosong pindahkanlah warga emas yang duduk di tingkat atas.

Mahkota mencadangkan kepada Yang Berhormat EXCO Agama pulak. Oh, tak ada pulak dia ni hari! Yang Berhormat Datuk Speaker, jangan marah saya tak datang semalam, marah EXCO Agama kenapa tak ada dalam masa ini? Tolong segerakan penubuhan rumah ataupun penginapan sementara untuk golongan asnaf dan gelandangan di dalam kawasan DUN Mahkota. Banyak kuarters kerajaan yang tidak diduduki malahan ada yang terbiar, gunakanlah bangunan-bangunan ini untuk kepentingan gelandangan.

Isu lembu berkeliaran. Kat Mahkota ini tak ada sangat gajah tapi yang ada lembu. Jangan sebut, takut malam ni dia datang pulak gajah tu. Isu lembu berkeliaran dan mengganggu lalu lintas sehingga menyebabkan berlaku dah dua kali kemalangan di antara manusia dan binatang. Mohon garis panduan dan tindakan PERHILITAN atau pun Veterinar dalam hal ini.

Mahkota mohon memperbanyakkan lagi pembinaan rumah flat yang berlif bagi kawasan Mahkota, bagi menempatkan golongan orang muda dan B40. Sebelum bubar Dewan Negeri, Mahkota telah mengutarakan, bangkitkan beberapa perkara, tapi masih belum dilaksanakan. Kerana apa perkara ini berlaku? Jangan malukan Johor! Bertindaklah dengan selaju mungkin dan kawasan Mahkota banyak kawasan terbiar yang perlu dibangunkan selaras dengan tema Bajet Johor Tahun 2023.

Masalah wifi ini, anakanda EXCO tolong selesaikan, EXCO muda mesti laju. Mahkota tak perlu ulas panjang sebab rakan-rakan Yang Berhormat-Yang Berhormat telah suarakan. Yang paling mustahak adalah tindakan segera mesti dilaksanakan. Selain daripada itu, lampu kampung, bila nak hantar? PM dah yang ke-10! Merdeka dah 65 tahun! Menteri Besar Johor dah ada yang ke-19, tapi kampung-kampung masih bergelap dan menakutkan! Kalau lampu dah macam-macam jenis keluar, lampu biasa, yang panjang, yang pendek, yang bulat, lampu LED, lampu solar, tapi sedih nak cakap, Mahkota lagi sedih, kawasan kampung dalam bandar. Harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar berilah ADUN-ADUN ini peruntukan 100 batang lampu untuk kami terangkan kawasan kami. (Dewan bertepuk.) Bila gelap, itu yang menyebabkan rakyat pada PRU lepas salah pilih, bukan kerana dia suka sangat nak pilih, tersilap pilih.

Yang Berhormat Datuk Speaker serta para Ahli-Ahli sekalian, Mahkota bagi pihak rakan-rakan ADUN mohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar kali ini tolong telitikan belum habis ni nak cakap sikit. Nak cakap malu, tak cakap mahu! Nak cakap macam mana Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker lama dengan saya dalam Dewan Negara dah, Dewan Negeri dah, cuma martabat tu lebih sikit daripada saya, maklumlah orang perempuan memang dunia beralah bagi mereka.

Untuk Yang Amat Berhormat kaji dan teliti semula elaun bulanan ADUN. Gaji kita, pembiayaan handphone kita, laptop, seating elaun dan segala kemudahan bagi ADUN. Jangan ikut kerajaan pusat. Mereka baru berkenalan, belum secocok. Itu yang kena potong gaji. Tapi sebelum ini mereka dah nikmati gaji baru mereka. Yang potong Yang Berhormat Menteri, yang potong 20%. Jadi kalau di Johor EXCO-EXCO nak potong silakan 20%, ADUN-ADUN ditambah lagi, maknanya yang 20% itu diberi kepada kami. EXCO macam tak setuju Yang Berhormat, tapi tak termasuk Yang Berhormat Datuk Speaker, selamatlah hidup. Terlari pulak. EXCO nak potong, potong. Naik elaun ADUN, elaun EXCO dipotong, inilah amalan terbaik. Sistem beralah antara EXCO dan ADUN, bak kata arwah P. Ramlee kepimpinan terbaik dalam amalan berkeluarga. Saya tengok jam saja, okey boleh lagi. Ada lagi seperkara yang nak disebut Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Satu minit saja lagi Yang Berhormat.

Satu minit saja, okey hujunglah. Akhir kata Mahkota mengucapkan tahniah dan terima kasih sesungguhnya usaha ke arah merealisasikan Belanjawan 2023, Maju Johor Makmur Bersama Rakyat. Yang sememangnya mengandungi gerak kerja perancangan mantap tidak akan dapat di manifestasikan tanpa sokongan dari semua pihak. Justeru, Mahkota mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua agar kita sama-sama ketepikan perbezaan ideologi, tolak hasad dengki, jauhi nestapa iri hati, EXCO silalah berbudi kepada ADUN-ADUN yang ada. Marilah kita bersama-sama menanam tekad untuk terus memberikan sokongan dan dokongan terbaik bagi menjayakan segala agenda demi Bangsa Johor.

Jalan-jalan ke Teluk Semantan, melihat budaya indah berjalur, Belanjawan 2023 dilaksanakan, semoga Johor semakin makmur. Dengan sepenuh keyakinan, insya-Allah dengan kesungguhan yang diilhamkan kemajuan untuk negeri Johor yang kita semua cintai ini akan menjadi realiti, semoga setiap niat dan tugas kita ini mendapat keberkatan dan balasan daripada Allah SWT. Maka dengan ini Mahkota mohon menyokong. Mahkota tak nak ingkar kata Speaker. Anak raja makan sirih, sekian terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Mahkota. Ahli-Ahli Yang Berhormat, tahniah kerana semuanya berbahas dengan bernas, fokus dan menepati masa. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 8 Disember 2022, jam 9:30 pagi.

Persidangan ditangguhkan jam 3:45 petang.