Johor · 8 December 2022
1st session, 4th meeting · 156 turns · 36,689 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, terlebih dahulu Dewan yang mulia ini merakamkan setinggi tahniah kepada calon dan parti yang menang di PRK Padang Serai dan Pulau Tioman. Negara masih berada dalam situasi baru iaitu politik adjustment iaitu penyesuaian politik akibat keputusan PRU ke 15 yang di luar jangkaan. Kita yang di Dewan Mulia ini juga perlu melakukan adjustment sebagai pra syarat dengan izin, moving forward iaitu untuk maju ke depan. Justeru, saya menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat agar terus berhemah dan mengelak konflik berasaskan sentimen kaum dan agama, baik di dalam dan di luar Dewan. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Dijemput Yang Berhormat Benut.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Datuk Speaker, soalan saya yang pertama.
Minta dinyatakan apakah inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan Johor Economic Tourism and Culture Office (JETCO) di Singapura terutama sekali dalam melipatgandakan peluang kerjasama Johor – Singapura dalam bidang pembangunan mampan sustainable development.
Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pejabat Ekonomi Pelancongan dan Kebudayaan Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Economic Tourism and Culture Office di Singapura adalah inisiatif yang telah dicetuskan oleh Yang Berhormat Benut dan merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam mendepani cabaran logo pasca COVID-19. Cadangan penubuhan JETCO telah memperolehi kelulusan kerajaan persekutuan pada Oktober 2020 dan dilihat sebagai agensi yang akan berperanan menjadi jambatan pengukuh hubungan dua hala bagi budaya dan pelancongan yang sedia terjalin di antara negeri Johor dan Singapura.
JETCO telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usaha sama pintar bersama agensi-agensi yang berkaitan di Singapura. Pada tahun ini, JETCO telah mengadakan beberapa siri sesi libat urus yang melibatkan lebih 15 agensi yang berkaitan di Singapura. Selain itu, JETCO telah menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di Singapura, serta terlibat dalam beberapa siri suai kenal delegasi dari Singapura ke Johor seperti promosi perkhidmatan feri dari Singapura ke Desaru Coast. Pegawai-pegawai JETCO turut dilibatkan dalam lawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Singapura pada bulan April serta lawatan jawatankuasa ini ke Singapura pada bulan September.
Semua usaha yang telah dilaksanakan dilihat dapat memberi impak yang positif dan memberangsangkan. Bagi tujuan menyelaras inisiatif serta hebahan program untuk tahun 2023 JETCO telah pun menganjurkan focus group discussion bersama agensi-agensi pada
November ini. Hasil dapatan itu, kita akan laksanakan antaranya kerjasama berkaitan food security untuk meningkatkan produktiviti dan rangkaian bekalan makanan, kerjasama berkaitan latihan tenaga pengajar bidang sains teknologi engineering dan matematik.
Perkongsian idea dan amalan terbaik best practices antara bandar dan komuniti mampan dengan pihak Singapura. Berkaitan dengan bidang pembangunan mampan ataupun sustainable development, kami ucapkan terima kasih atas usaha Yang Berhormat Benut dalam merangka, merancang dan melancarkan Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2030 yang menjadi dokumen rujukan utama kerajaan negeri Johor dalam hab pembangunan.
Dalam hal ini telah pun diumumkan di bawah Belanjawan 2023 juga bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan kajian Pelan Induk Pembangunan Hijau di bawah Programme United Kingdom Partnering For Accelerated Climate Transitions. Program Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon turut akan diteruskan dan penggunaan kenderaan elektrik dalam bandaraya akan digalakkan.
Berkaitan kerjasama dengan Singapura, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah pun mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Minister For Sustainability And The Environment Singapura pada bulan April serta Setiausaha Tetap Ministery Of Sustainabality And The Environment Singapura pada bulan Julai mengenai kerjasama dalam bidang ini. Terima kasih Datuk Speaker.
Sila Benut.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas penjelasan yang diberikan berkaitan dengan inisiatif-inisiatif, langkah-langkah dan juga pendekatan yang telah diambil berkaitan dengan penubuhan atau adanya JETCO di Singapura. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin merujuk kembali kepada tujuan asal penubuhan JETCO ini. Antaranya ialah untuk meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam kita dalam menjalinkan interaksi, kerjasama hubungan pendedahan di peringkat yang lebih meluas. Kalau boleh dikatakan di peringkat antarabangsa, nak bawak Johor berada di persada yang sedemikian. Selain daripada tujuan tersebut, JETCO juga perlu berada di negara jiran kita kerana menjadi harapan kita supaya kebergantungan kepada MIDA, MATRED, AMDEC dan sebagainya juga dapat kita permudahkan ataupun kita lebih ke depan dalam hal yang berkenaan.
Jadi, selain daripada inisiatif yang baik yang telah Yang Berhormat Speaker, ataupun Yang Berhormat EXCO nyatakan tentang kolaborasi menggunakan platform JMC dan sebagainya untuk memperkukuhkan peranan JETCO, bagaimana pengiktirafan agensi-agensi pelaburan pusat terhadap JETCO kita ini? Apakah inisiatif yang kita buat untuk memastikan JETCO ini mendapat pengiktirafan? kerana Yang Berhormat Datuk Speaker, JETCO berbeza dengan misal kata Sarawak dia ada juga create office, ada juga penama agensi untuk menarik pelaburan dari segi pelancongan tetapi entiti Sarawak di Singapura berbeza dengan JETCO.
Kita telah mendapat kelulusan daripada kabinet, penubuhan JETCO di Singapura sementara Sarawak hanya syarikat sahaja berada di sana. Itu pun menjadi satu entiti yang dapat menarik pelaburan ke negeri Sarawak. Jadi, atas dasar itu apakah inisiatif usaha yang boleh kita buat supaya pengiktirafan ini benar-benar dapat diterima oleh MIDA, MATRED dan sebagainya. Itu satu kerana ianya dapat kita ukur dari segi keupayaan JETCO itu.
Jadi untuk usaha tersebut, persoalan saya ialah bersediakah kerajaan untuk mengambil langkah-langkah supaya hubungan dengan kerjasama MIDA di Singapura, MATRED di Singapura sebagai salah satu langkah untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap usaha tersebut? Jadi, inisiatif-inisiatif ini adakah kerajaan akan menyusun langkah-langkah yang
sewajarnya supaya JETCO itu betul-betul dapat bersaing dengan MIDA, MATRED dan sebagainya sebagai meletakkan Johor berada di hadapan? Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih atas cadangan Yang Berhormat Benut. Ia betul, memang JETCO ditubuhkan ada satu peranan yang sangat-sangat besar untuk kerajaan negeri Johor di Singapura kerana seperti mana yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa kita lihat Singapura sebagai satu rakan strategik untuk kita kerjasama dalam hal ehwal pelaburan, berdagangan dan juga perkara-perkara lain. Dan berkaitan dengan kerjasama JETCO dengan agensi-agensi pusat seperti MIDA, MATRED dan lain-lain di Singapura, kita akan adakan program-program seperti Festival Kebudayaan Johor di Singapura pada tahun depan. Kita akan adakan usaha sama sempena Singapore Business Show 2023. Maka, dengan kerjasama sebegini kita harap dapat wujudkan satu hubungan yang lebih erat dengan lebih baik dengan agensi persekutuan di Singapura . Dan, kita di kerajaan negeri Johor juga akan bincang dengan kerajaan persekutuan macam mana kita boleh memberi satu pengiktirafan kepada JETCO seperti mana yang disarankan oleh kerajaan negeri Johor, terima kasih.
Ya, sila Kahang.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Soalan tambahan saya ialah, terlebih dahulu saya ucap tahniah di atas usaha agresif yang diambil oleh JETCO, selepas penubuhannya di Singapura. Tetapi saya mohon pencerahan dalam konteks menarik pelabur daripada Singapura ke Johor ini, bagaimana berjayanya JETCO dalam konteks membawa pelaburan ke Singapura, daripada Singapura ke Johor dan mohon pencerahan berapa banyak pelaburan, jumlah pelaburan yang telah pun di bawa dalam sejak penubuhan JETCO dan bagaimana pula dalam konteks respons pihak Singapura memandangkan ada agensi pusat di Lucia di Singapura seperti MATRED dan juga MIDA? Bagaimana pula respons pihak Singapura, adakah mereka terus berhubung dengan kita ataupun masih lagi melalui agensi pusat dalam konteks membuat pelaburan di negeri Johor ini? Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kahang. Untuk makluman Dewan ini, setakat bulan 6 tahun ini, jumlah pelaburan untuk sektor pembuatan adalah dari luar negeri adalah RM5.6 bilion dan daripadanya hampir 70% iaitu hampir RM4 bilion adalah dari negeri Singapura. Dan untuk gerak kerja JETCO tahun ini JETCO telah pun mengadakan 15 siri perbincangan dengan pelbagai agensi di Singapura dan juga mengadakan tiga siri suai kenal untuk membawa arah pelabur dari Singapura untuk datang ke negeri Johor untuk melawat ke tapak-tapak berkaitan. Dan kita harap, kita percaya inilah antara keputusan-keputusan ini adalah antara kejayaan JETCO dan untuk tahun depan kita akan giatkan usaha lagi untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Singapura melalui JETCO. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Buah Durian dimasak serawa, soalan Parit Raja nombor 2.
Minta dinyatakan inisiatif kerajaan negeri bagi mengatasi gangguan bekalan air sejak bertahun kerana kepadatan penduduk di kawasan Pekan Parit Raja.
Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera.
Pantun dulu Yang Berhormat.
Soalan saya nombor 3.
Sila nyatakan tindakan yang akan diambil oleh kerajaan dan RSAJ untuk menangani masalah terlalu kerap berlaku paip air pecah dan mengakibatkan gangguan bekalan air khususnya di kawasan Tongkang Pechah.
Tak ada pantun. Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker , soalan saya nombor 4.
Apakah tindakan kecemasan bagi Ranhil SAJ ketika krisis air yang berlaku di sekitar kawasan Pasir Gudang baru-baru ini (Oktober) dan berapa isi rumah yang terbabit dan berapa tangki lori telah bergerak mengedar air kepada penduduk yang terjejas?
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, membekalkan air bersih terawat dengan sempurna merupakan satu iltizam serta komitmen kerajaan negeri Johor sepertimana inti pati ucapan Belanjawan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran dalam memastikan perbekalan air ini kekal sempurna terutamanya apabila melibatkan gangguan tidak terancang seperti paip pecah.
Oleh itu, izinkan saya menjawab secara bersekali soalan yang berkaitan dengan isu-isu paip pecah seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Parit Raja, Yang Berhormat Parit Yaani dan juga Yang Berhormat Johor Jaya. Untuk makluman Yang Berhormat Parit Raja, secara amnya bekalan air di kawasan Pekan Parit Raja adalah dalam keadaan baik. Isu bekalan air di kawasan Parit Raja yang timbul sejak kebelakangan ini berpunca daripada kekerapan paip bocor ataupun paip pecah bersaiz 300 milimeter di sepanjang Jalan Parit Raja – Kluang disebabkan oleh kerja-kerja pemasangan parit konkrit, bagi kerja pelebaran jalan Parit Raja hingga ke Kluang.
Sehingga tarikh ini, direkodkan terdapat 19 kali kes paip pecah yang bersangkutan dengan kerja-kerja tersebut. Oleh itu, bagi langkah jangka pendek pihak Ranhilll SAJ telah berbincang dengan pihak JKR dan juga kontraktor dan menasihatkan langkah-langkah yang sewajarnya. Selain itu juga, RSAJ telah mengambil langkah segera dengan membuat pengolahan sistem bekalan air di kawasan terlibat bagi meminimumkan jumlah pengguna yang terjejas.
Antara penambahbaikan sistem bekalan untuk jangka masa panjang yang sedang dalam perancangan:
1. Pengolahan sistem dengan membekalkan sebahagian kawasan Parit Raja daripada Loji Rawatan Air Sembrong Barat apabila pembinaan Tangki Air Baharu Ayer Hitam berkapasiti 3.3 juta liter siap nanti.
2. Cadangan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 40 juta liter di kawasan Parit Raja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Parit Yaani pula adalah dirujuk kepada keadaan fizikal paip lama dan uzur yang masih lagi diguna pakai di sekitar kawasan terjejas. Sehubungan itu, Ranhill SAJ sedang giat melaksanakan
penggantian paip-paip lama yang telah uzur di seluruh negeri Johor dan pelaksanaannya adalah mengikut perancangan serta keutamaan berdasarkan peruntukan. Walau bagaimanapun, untuk jangka masa pendek bagi kawasan Tongkang Pechah, pihak Ranhill SAJ sedang mengkaji kesesuaian pemasangan injap-injap sempadan bagi meminimumkan kawasan yang terjejas sekiranya berlaku kejadian paip bocor, pecah dari tangki utama yang membekalkan air ke kawasan tersebut.
Untuk makluman Yang Berhormat Johor Jaya, gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar kawasan Pasir Gudang baru-baru ini merupakan gangguan bekalan air tidak terancang dan di luar jangkaan kerana berlakunya kejadian paip pecah berukuran 1,200 milimeter ketika kerja-kerja pemasangan paip utama yang dijalankan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berhampiran Persiaran Seri Alam, Masai. Insiden tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang kepada kira-kira 120,000 akaun pengguna pada peringkat awal. Menyedari keadaan yang disifatkan sebagai kecemasan ini, pihak Ranhill SAJ telah bertindak serta merta menjalankan kerja-kerja pembaikan kecemasan dan berjaya melakukan inisiatif pengolahan sistem agihan yang berjaya menurunkan jumlah pengguna terjejas kepada sejumlah 62,272 akaun. Selain itu juga, sebanyak 46 buah lori tangki air terdiri daripada pihak Ranhill SAJ, pihak operator bekalan air lain, agensi kerajaan dan swasta telah digerakkan. Ranhill SAJ juga telah menggerakkan 19 unit tangki satu meter padu atas pacuan empat roda dan 76 unit tangki statik di lokasi strategik untuk mempercepatkan proses agihan kepada pengguna. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya Parit Raja sila.
Terima kasih atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Pertamanya, Parit Raja merakamkan ucapan tahniah di atas pengiktirafan Yang Berhormat EXCO ke Engineer ASEAN, tahniah, (Dewan bertepuk), tahniah kita ucapkan. Parit Raja dimaklumkan gangguan air di kawasan Parit Raja adalah disebabkan kerja-kerja memasang paip konkrit di Jalan FT050. Namun apa yang dikesalkan ialah kekerapan ataupun kecuaian kontraktor sebanyak 19 kali, apa tindakan untuk kontraktor dan bagaimana RSAJ ini mengurus sistem aduan yang lebih strategik dan dinamik kerana kita tak nak masyarakat umum ini membuat aduan di laman sosial yang akhirnya mengundang persepsi yang tidak baik kepada kerajaan dan agensi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Untuk apa yang dilontarkan oleh Yang Berhormat Parit Raja tadi ialah kecuaian sebanyak 19 kali oleh pihak kontraktor. Seperti saya maklumkan dalam jawapan tadi, pihak RSAJ telah berjumpa, melakukan libat urus dengan pihak JKR dan juga pihak kontraktor dan bagi kes-kes biasa selalunya akan ada penalti kepada pihak kontraktor. Oleh itu, untuk masa akan datang kita telah pun merancang dengan baiklah dengan pihak kontraktor dan juga pihak JKR supaya kerja-kerja ini lebih dibuat secara lebih berhati-hati. Cuma hari kejadian tempat Yang Berhormat Parit Raja ialah lokasi sebenar paip itu tak dapat dikesan dengan betul. Jadi itu antara faktor utama yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan semasa kerja-kerja pelebaran jalan di Parit Raja – Kluang itu. Terima kasih.
Ya, jemput Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah saya ucapkan kepada YB EXCO atas anugerah yang diterima. Soalan tambahan saya, seperti apa yang dikatakan oleh YB EXCO tadi 120,000 akaun yang telah di apa, terjejas apabila krisis air ini berlaku di Pasir Gudang, di kawasan Pasir Gudang dan seperti apa yang dimaklumkan cuma 42 tangki air dan juga 76 unit tangki statik yang di apa, disediakan bagi 120,000 akaun sama ada ini logik ke tidak Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan soalan saya adalah apa, kalau paip bocor ini adalah satu insiden yang tidak terancang, apakah pelan alternatif sebab kita tahu sekarang ini memang SAJ sentiasa tukar paip yang bocor
tetapi apakah pelan alternatif untuk mengelakkan perkara ini berlaku lagi dan apakah tindakan kerajaan terhadap Ranhill SAJ untuk mengelakkan krisis seperti berlaku lagi? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Untuk makluman Yang Berhormat, sebenarnya seperti apa yang saya sebut tadi 46 buah lori tangki telah disediakan, saya faham memang tidak mencukupi untuk kita cover sebanyak lebih kurang 62,272 akaun yang telah terjejas. Oleh itu, antara langkah yang akan dibuat oleh pihak Ranhill SAJ ialah mengadakan hubungan yang baik dengan operator-operator yang lain. Kita ada isu hari itu Yang Berhormat Johor Jaya, antaranya kebanyakan tangki-tangki sedia ada tak dapat digunakan, kebanyakan tangki-tangki ini ialah membawa minyak, membawa selain daripada air. Jadi kalau kita gunakan tangki yang biasa bawa minyak, bawa sawit ni, minyak sawit ini dia akan ambil proses lagi lama sebab kita nak proseskan. Namun begitu Yang Berhormat Johor Jaya kalau saya boleh tambah mengikut Akta WASIA (Water Supply Industrial Act), setiap kediaman sewajarnya menyediakan tangki air untuk bertahan selama 24 jam dan bagi industri antara 200 ke 600 milimeter paip perlu menyediakan tangki simpanan yang boleh menampung selama 36 jam, manakala 600 milimeter ke atas perlu menyediakan tangki yang dapat menampung air selama 48 jam. Antara sebab kenapa kita punya tangki air tak dapat dikeluarkan banyak ialah ada setengah kediaman kita ikut kepada demand, boleh jadi 24 jam bagi setiap rumah dia boleh jadi lebih lama sebab penggunaannya kurang. Jadi tangki-tangki air ini kita supply berdasarkan kepada demand daripada pihak pengguna.
Tangki air itu percuma ke Yang Berhormat?
Tangki air itu patutnya disediakan kalau perumahan, pemaju. Ini memang ada dalam akta Yang Berhormat Datuk Speaker, dan untuk rumah kediaman kampung selalunya tak adalah. Jadi walau bagaimanapun, seperti yang saya sebutkan tadi dalam masa 24 jam sepatutnya Ranhill SAJ melalui kontraktor dia akan buat pembaikan. Disebabkan itu setiap rumah kediaman perlu menyediakan tangki 24 jam itu. Terima kasih.
Kalau saya boleh tambah tadi berkaitan dengan soalan Parit Yaani saya terlupa jawab berkaitan dengan aduan. Aduan ini Yang Berhormat Parit Yaani kita ada dua, satu berdasarkan sistem online monitoring, satu lagi ialah melalui aduan daripada pengguna seperti yang saya sebutkan tadi, setiap aduan daripada pengguna kalau domestik, kita akan perbaiki dalam masa 24 jam, manakala bagi kategori industri sama ada 36 jam sehingga ke 48 jam. Maksud 24 jam, 36 jam dan 48 jam selepas daripada masa tersebut, Ranhill SAJ akan bekalkan melalui tanker-tanker. Terima kasih.
Parit Yaani masih nak ada soalan tambahan? Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya kena tambah soalan juga sebab di tempat saya ni, nama dia Tongkang Pechah tapi bila berlaku paip pecah dia orang nak tukar nama Paip Pechah.
Saya setuju...
Dan sekarang ni Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO permasalahan ini kita dah maklum nak gantikan paip lama kepada paip baharu katanya mengikut jadual. Cuma kita nak cerita dengan rakyat ni jadualnya tu bila nak siap tu? Tahun depan ke, tahun satu lagi ke ha itu masalah dia. Saya ni kadang malam-malam pukul 2.00 pagi bila paip pecah, saya yang ditelefon nak kena gegar SAJ masa tu. Terima kasih banyak YB EXCO, terima kasih Datuk Speaker...
Tempat saya menangis sebut Rengit Menangis sebab tak ada air...
Ha sekali arung lah Rengit dengan Sri Medan tu, sama masalah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani. Jadi janganlah tukar nama dulu kita selesaikan masalah ini dulu. Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Parit Yaani, kita ada 26,000 kilometer paip di seluruh negeri Johor Yang Berhormat Datuk Speaker. Daripada jumlah itu, 6,000 kilometer itu ialah paip lama yang mana setahun kita punya kemampuan berdasarkan peruntukan hanya 280 kilometer. Kalau kita bahagi secara kasar tu lebih kurang 10 tahun baru siap untuk seluruh negeri Johor. Walau bagaimanapun, seperti yang saya sebutkan tadi kita ada langkah-langkah yang kita boleh tambah baik seperti mengadakan lebih banyak injap-injap di setiap lokasi, menambah lebih banyak tangki-tangki air dan sebagainya. Jadi di samping kita nak siapkan paip-paip lama yang berjumlah 6,000 kilometer ini, kita pun ada plan lain supaya, satu, kejadian paip pecah ini tidak berlaku lebih kerap dan juga bekalan air tak terputus di kawasan-kawasan terutamanya di kawasan Tongkang Pechah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Sungai Balang nak?
Ya..
Soalan tambahan?
Ya, soalan tambahan.
Oleh kerana ini isu ini isu penting, saya benarkan satu lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada EXCO kita yang telah menjawab begitu panjang kepada semua sekali. Cuma air ini ialah merupakan sumber kehidupan. Jadi bila sebut pasal air ini, saya sendiri merasakan satu tekanan yang tinggi, sewaktu saya berada di sini pun masalah di kawasan saya pun telah tiga hari tak ada air. Jadi benda ini yang dicari dulu adalah merupakan ADUN kawasan. Jadi punca yang kita kenal pasti antara puncanya adalah kerana paip air itu terlalu lama dan juga ada permasalahan lain di antaranya tekanan terlalu tinggi dan juga tekanan terlalu rendah. Cuma apa yang saya nak usulkan di sini, saya mintalah pihak SAJ ataupun Ranhill membuat kajian ataupun pemantauan kawasan-kawasan yang terlalu lama yang kemungkinan paip itu berusia 40 tahun, 30 tahun. Justeru itu, apakah langkah yang perlu dibuat oleh SAJ ataupun Ranhill untuk mengatasi masalah jika berlaku sesuatu bencana ini.
Contohnya, kalau tempat saya semalam dalam kawasan di DUN Sungai Balang itu hanya disediakan lebih kurang empat tangki air jadi untuk menampung, menghantar waktu mendesak itu tidak dapat menampung keseluruhan penduduk dan kita try meminta bantuan pada daerah-daerah lain untuk membantu, untuk mengatasi masalah air ini dan alhamdulillah, walaupun Yang Berhormat EXCO berada di Cambodia, tetapi beliau telah dapat menghubungi saya untuk menghantar bantuan tangki-tangki. Cuma saya mintalah supaya bila berlaku bencana ini mohon pada pihak tertentu membantu bagi kawasan-kawasan terlibat. Itu sahaja, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Saya faham isu yang berlaku di Sungai Balang hari itu antaranya disebabkan oleh kerja-kerja yang telah dibuat tapi bocor kembali di kawasan Sungai Balang dan kerja-kerja itu
terganggu apabila tanah runtuh. Seperti kalau saya boleh ambil contoh, soalan Johor Jaya tadi berkaitan dengan Pasir Gudang, lubang kebocoran itu kecil sahaja Datuk Speaker, hanya dua inci tetapi kedalamannya 8 meter dan ketika buat kerja pula dengan cuaca yang tidak baik dan sebagainya jadi dia sedikit sebanyak mengganggu. Saya faham Yang Berhormat Sungai Balang, kita pun dah menghantar beberapa tangki air. Seperti yang saya sebutkan tadi, tangki air ini kita tak bagi secara keseluruhan sebab ia bergantung kepada pengguna, setiap pengguna. Ada pengguna yang ada tangki air simpanan di rumah mungkin dia tidak perlukan tanker-tanker datang ke rumah. Oleh itu, semua ini akan disusun secara baik untuk masa akan datang. Seperti yang saya sebutkan tadi hubungan yang baik juga perlu antara operator air RSAJ dan juga pihak-pihak luar untuk membantu. Sebab kejadian-kejadian ini sebenarnya kebanyakannya tidak terancang tetapi insya-Allah saya dan pihak RSAJ sedang melakukan atau pun membuat satu pelan SOP untuk mengatasi masalah ini daripada berlanjutan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Bukit Pasir, tolong percepatkan pembinaan loji air baru di Belahan Tampok, Rengit ya.
Insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ambil maklum.
Ya, kalau tidak nanti kita tak benarkan lagi monopoli air di Johor ini. Di jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, cincin Suasa cincin Delima, soalah Pasir Raja nombor 5.
Senaraikan Program Outreach yang telah diadakan oleh YPKDT untuk mempromosi sesi kaunseling dan runding cara yang disediakan oleh YPKDT?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Yang Berhormat Pasir Raja telah meminta saya menyenaraikan Program Outreach yang telah diadakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim untuk mempromosikan sesi kaunseling dan runding cara yang disediakan oleh mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim melalui Bajet Pre 3.0 Ihsan Johor di bawah sektor masyarakat dan modal insan telah mewujudkan pelbagai inisiatif bagi program perkhidmatan psikologi dan kaunseling untuk masyarakat negeri Johor. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah :
1. Mewujudkan perkhidmatan kaunseling atas talian secara percuma bagi melaksanakan perkhidmatan ini secara, dengan perkembangan teknologi terkini agar penyampaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tanpa halangan dari segi tempat dan kos. Perkhidmatan akan di promosi secara meluas ke semua agensi.
2. Menganjurkan webinar, bengkel, perkongsian ke arah kesihatan mental dan kaunseling secara percuma yang secara berkala sama ada secara live atau rakaman dengan melibatkan pakar-pakar atau selebriti yang berkaitan.
3. Menyediakan mobile team dengan menyediakan satu van khas yang akan digunakan bagi mempromosi perkhidmatan kaunseling terutama di kawasan luar bandar, di samping mempromosi perkhidmatan kaunseling kepada penduduk luar bandar yang mempunyai akses yang terhad dalam mendapatkan perkhidmatan ini secara bersemuka atau atas talian.
4. Mewujudkan support group dan kerjasama dengan pelbagai agensi dan NGO bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan sokongan moral.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara program Outreach yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga untuk mempromosi sesi kaunseling dan runding cara yang disediakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga adalah seperti berikut:
1. Webinar kesihatan mental dilaksanakan di seluruh daerah 47 webinar dilaksanakan. Seramai 5,973 orang telah menyertai, 36,360 views di Facebook rasmi Mind-X.
2. Melaksanakan program anjuran jabatan dan program jemputan pihak luar dan juga sokongan moral kepada penerima manfaat di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. 993 program telah dilaksanakan, 22,180 orang telah terlibat sebagai peserta di mana peserta merangkumi semua lapisan termasuk golongan pelajar, ibu bapa dan ibu tunggal.
3. Hebahan maklumat melalui pameran dan flyers. 10,000 orang telah menerima flyers tersebut termasuk hebahan kesemua agensi dan pejabat-pejabat Ahli Dewan Negeri.
4. Menyediakan 11 klinik kaunseling di seluruh daerah. Pertama, Yayasan Pembangunan Kota Iskandar, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Johor Bahru, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Muar, Yayasan Pembangunan Keluarga Batu Pahat, Yayasan Pembangunan Keluarga Segamat, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Kluang, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Pontian, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Kota Tinggi, Yayasan Pembangunan Keluarga Mersing, Yayasan Pembangunan Keluarga Kulai, Yayasan Pembangunan Keluarga Daerah Tangkak.
5. Mengendalikan kes-kes kaunseling sebanyak 2,243 kes telah diterima oleh Yayasan Pembangunan Keluarga. Di antara kes-kes tersebut adalah perkahwinan 741 kes, keluarga 483 kes, kesihatan mental 595 kes, lain-lain masalah seperti masalah kewangan, keyakinan diri, masalah tempat kerja sebanyak 424 kes.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Sila Pasir Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO yang telah menjawab. Pada masa kini, kita melihat semakin kerap kejadian yang melibatkan emosi dan juga psikologi. Selain daripada perkhidmatan, penaksiran psikologi, intervensi krisis, psiko terapi, retreat keluarga dan juga psiko pendidikan kepada sasaran, kumpulan sasar. Soalan tambahan saya adalah, apakah perancangan kerajaan negeri dalam memperhebatkan lagi usaha program kaunseling yang telah dijalankan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan tersebut bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha dalam menyantuni Bangsa Johor. Antara usaha bagi tahun 2023 adalah Program Intervensi Keluarga dan Komuniti Mind-X akan diperluaskan lagi bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi dan mental dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00 seperti yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz pada 1 Disember yang lalu dalam Belanjawan 2023.
Datuk Speaker, bahawa program ini bertujuan untuk menjadikan institusi keluarga sebagai agen utama pembangunan dan kesejahteraan secara holistik negeri Johor. Ia akan
memanfaatkan seramai 5,000 penerima di pelbagai peringkat termasuk kanak-kanak, dewasa hingga warga emas. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Jementah.
Terima kasih, soalan nombor 6.
Apakah langkah yang dijalankan oleh JTK Pelancongan bagi membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Jementah. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Soalan daripada Yang Berhormat Jementah ialah apakah langkah yang dijalankan oleh JTK Pelancongan bagi membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan juga Segamat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara langkah yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Pelancongan Pejabat Daerah Segamat bagi membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat adalah seperti berikut:
1. Menurap jalan Bukit Jementah. Telah memberi kemudahan kepada pengunjung atau pelancong untuk menjalankan aktiviti beriadah ke puncak Bukit Jementah.
2. Pemasangan papan tanda di Bukit Cinta untuk mempromosi kepada pengunjung tempat baru yang ada di Jementah.
3. Menaik taraf Dataran Segamat dan Taman Rekreasi Batu Hampar untuk kemudahan para pengunjung melakukan aktiviti bersama keluarga.
4. Pemeriksaan Majestic Johor Standard melibatkan produk pelancongan di daerah Segamat.
5. Pelaksanaan papan tanda tunjuk arah lokasi pelancongan di sekitar bandar Segamat.
6. Lukisan bidai kayu di sekitar kedai-kedai dalam kawasan bandar Segamat di bawah program Festival Bitara Seni dan oleh Balai Seni Negara.
Selain itu juga antara langkah yang akan dijalankan untuk membangunkan sektor pelancongan di Jementah dan Segamat adalah seperti berikut:
1. Menaik taraf prasarana pusat pengumpulan hasil pertanian Jementah bagi kemudahan pengusaha-pengusaha tanaman durian untuk memasarkan hasil tanaman mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014-2023, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan untuk membangunkan sektor pelancongan di daerah Segamat sebagai destinasi pelancongan agri atau orchard road dengan izin. Antara langkah-langkah yang dicadangkan di dalam pelan induk ini adalah : membangunkan aktiviti-aktiviti pelancongan berasaskan dusun buah-buahan di daerah Segamat. Menaik taraf kemudahan fizikal aktiviti dan perkhidmatan tarikan pelancongan daerah Segamat khususnya di empat produk sokongan pelancongan sedia ada di daerah Segamat iaitu Air Panas Labis, Taman Bunga Batu Hampar, Hutan Lipur Sungai Bantang dan Taman Negara Endau-Rompin Selai. Menaik taraf stesen KTM di Segamat sebagai staging point ke tarikan pelancongan daerah Segamat khususnya tarikan ekopelancongan. Pembangunan pakej pelancongan agri-daerah Segamat, penganjuran festival buah-buahan antarabangsa Segamat.
Cadangan-cadangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan melibatkan pelbagai agensi antaranya Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pertanian Negeri Johor dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Selain itu, Tourism Johor dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Perbadanan Taman Negara Johor, Pejabat Daerah Segamat, Majlis Perbandaran Segamat dan Majlis Daerah Labis akan terus mempergiatkan aktiviti mempromosi produk-produk pelancongan ini melalui saluran media-media elektronik dan cetak dengan menyasarkan segmen ekopelancongan sebagai inti pati utama destinasi ini. Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan industri serta medium digital sebagai contoh Johor Tourism Interchange, pakej-pakej pelancongan dan maklumat berkaitan produk ini boleh diakses kepada ahli-ahli industri terutama kepada para pelancong negara-negara jiran. Terima kasih.
Ya, sila Jementah.
Terima kasih, Yang Berhormat. Soalan tambahan saya, Segamat berlokasi di kawasan pedalaman dan saluran logistik merupakan satu masalah yang menghalang ataupun tidak, tidak menyokong bagi orang-orang luar untuk melawat Segamat. Jadi, macam manakah untuk mengatasi masalah ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya lahir di Segamat, so saya hampir tahu apa masalah. Tetapi apa pun kalau saya tengok kan dalam segi logistik dah ada jalan baharu daripada Tangkak ke Segamat dan jalan itu telah dipendekkan dari dahulu dah 1 jam, sekarang dan 45 minit. Dan fasa ketiga pun dah diluluskan untuk dijalankan dan ini akan mengurangkan pergerakan datang ke Segamat. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Bentayan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.
Berapakah peruntukan yang diberikan untuk kerja-kerja penyelenggaraan pokok serta kerja-kerja berkaitan mengikut setiap PBT bagi tahun 2020, 2021 dan 2022?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bentayan mengisahkan berapakah peruntukan yang diberikan untuk kerja-kerja penyelenggaraan pokok serta kerja-kerja berkaitan mengikut setiap PBT bagi tahun 2020, 2021 dan 2022?
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerja-kerja penyelenggaraan pokok di kawasan PBT melibatkan kerja-kerja seperti mencantas dan menebang pokok. Pembelian, penggantian, penanaman semula pokok-pokok teduhan, menaik taraf infrastruktur di kawasan tanaman pokok, kerja-kerja penjagaan landskap serta kerja-kerja pembersihan kawasan sekitar.
Selaras dengan penganugerahan Bandar Pelancongan Terbersih Asian pada tahun 2018 dan 2022, antara inisiatif kebersihan yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Muar adalah penyelenggaraan pokok-pokok dan penjagaan landskap di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Muar. Bagi tahun 2020 sebanyak RM995,000.00 telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Manakala bagi tahun 2021, sebanyak RM697,000.00 dan pada tahun 2022 sebanyak RM499,000.00.
Bagi semua PBT pula jumlah keseluruhan yang telah diperuntukkan menggunakan peruntukan PBT bagi kerja-kerja penyelenggaraan pokok serta kerja-kerja berkaitan pada 2020 sehingga 2022 adalah sebanyak RM147 juta melibatkan 390 kerja. Sebagaimana pecahan berikut : pada tahun 2020 peruntukan RM48 juta untuk 137 kerja. Pada tahun
2021, peruntukan RM38 juta untuk 90 kerja dan pada tahun 2022 peruntukan RM60 juta bagi bilangan kerja 163. Terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO atas jawapan yang diberi. Saya selalu menerima aduan tentang pokok-pokok yang besar dan subur ini sentiasa membawa masalah keselamatan yang mengancamkan keselamatan orang awam atau masalah kebersihan. Dan, saya dapati tindakan yang diambil oleh PBT ini selalu mengambilkan masa yang panjang untuk ambil tindakan. Apakah maklumat yang saya diterima sebab, salah satu sebab yang mengambilkan masa yang panjang ialah sebabkan kerja-kerja penyelenggaraan ini hanya dibenarkan, diberikan satu syarikat sahaja untuk ambilkan kerja-kerja tersebut. Jadi, itulah terpaksa ambil masa yang panjang.
Jadi soalan tambahan saya ialah apakah tindakan atau penambahbaikan supaya keadaan ini boleh ditambah baik iaitu masa tindakan dapat dipendekkan? Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada YB Bentayan. Ya, saya setuju dengan kenyataan YB Bentayan bahawa dalam satu-satu isu tertentu bila pokok dan dahan tua ini atau rosak jatuh ke jalan-jalan raya, lepas itu tindakan yang diambil oleh kontraktor PBT mungkin sedikit lambat. Tetapi, di Majlis Perbandaran Kulai dan beberapa Majlis Bandaraya Perbandaran Johor Bahru, MBIP dan Iskandar Puteri biasanya kalau membuat satu-satu tender biasanya dia akan bahagikan kepada zon-zon. Contoh ada 4 zon, jadi 4 zon itu mungkin ada 4 kontraktor yang dah dipilih melalui capability mereka. Jadi biasanya satu-satu zon itu, kontraktor yang telah dipilih sentiasa bersedia 24 jam untuk menyelesaikan isu-isu ini. Tetapi, di peringkat Majlis Perbandaran yang mungkin kurang berduit atau Majlis Daerah seperti Tangkak, Mersing, daerah-daerah yang dari segi jumlah hasil tu sedikit, perkara ini tidak dapat dilakukan.
Jadi oleh itu, kadang-kadang, kenapa kadang-kadang dia tidak dapat pecahkan ikut zon sebab bajet yang dibuat semasa pembentangan bajet untuk setiap tahun itu sangat sedikit pasal kita ada perkara-perkara lain yang perlu diutamakan. Jadi saya ambil maklum tentang isu Bentayan, tapi saya ingat di Majlis Perbandaran Muar ini, baik dia punya YDP baik dia punya tuan DO dia, saya ingat lebih pro aktif, saya harap di peringkat DO dan PBT ini akan melihat perkara ini secara tuntaslah eh. Terima kasih.
Tangkak.
Terima kasih Datuk Speaker, Tangkak terima baik dengan penjelasan daripada YB EXCO tadi terutama bagi PBT-PBT yang bajet dia terhad tetapi isu ini sangat penting dan bahaya juga disebabkan pokok-pokok terutama di tepi jalan ataupun berdekatan dengan kediaman ini, kalau katakan tidak diuruskan dengan segera apabila terutama dalam musim monsun ini akan menjadikan kemalangan yang kita tidak dapat sangka, jadi cadangan ataupun adakah kerajaan negeri dapat membantu sebab di merata tempat ini memang apabila sebuah pemaju membina rumah atau kawasan kediaman atau membuat sebarang pembangunan kita memang menggalakkan supaya menanam pokok supaya mengindahkan lagi kawasan tersebut. Tetapi spesies pokok-pokok yang ditanam itu sangat penting juga dan adakah ada spesies yang dihalang macam pokok-pokok yang terlalu tinggi, dahannya mudah patah itu akan disyaratkan dari segi apabila memohon Kebenaran Merancang? Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Tangkak. Eh, dah tentulah untuk kita di peringkat negeri Johor ini, kerajaan Johor, masyarakat rendah karbon. Dah tentulah kita perlu menggalakkan PBT-PBT ini atau agensi lain menanam lebih banyak pokok. Untuk isu jenis-jenis pokok ini, sebenarnya untuk
makluman Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, kita di peringkat PBT-PBT ini dah ada senarai jenis-jenis pokok, jenis-jenis akar dan berapa lama dia boleh tahan. Cuma isunya ialah bila pokok dia dah terlalu besar, kita kena cantas. Tapi dalam isu-isu tertentu yang melibatkan ribut, melibatkan angin kencang yang ini akan menyebabkan pokok itu tumbang.
Antara pokok yang banyak terdapat di PBT-PBT ini ialah pokok yang dipanggil Pokok Hujan-Hujan. Pokok Hujan-Hujan ini turut dikenali sebagai Pokok Air-Air. Jadi di tepi jalan contoh di Majlis Perbandaran Kulai, kebanyakan pokok-pokok ini yang tingginya boleh mencapai 25 meter dan diameter 1.5 meter. Dahannya kuat, buahnya manis, jadi makanan binatang. Pokok teduhan dan pokok tadahan hujan. Terima kasih.
Senai.
Terima kasih di atas jawapan yang diberikan oleh Datuk EXCO. Soalan saya, semasa saya jadi Ahli Majlis di MPKu, saya pernah jumpa setiap kontraktor yang disebut oleh Datuk EXCO yang sebut tadi untuk mendapat kerja projek-projek untuk kerja penyelenggaraan pokok. Dan setelah interview dengan mereka satu-persatu saya mendapati ada kontraktor yang tiada kelengkapan seperti sky lift jadi masalahnya, persoalan saya macam mana mereka boleh bertindak segera semasa ada berlaku kejadian ribut dan pokok tumbang, jadi minta supaya kontraktor yang dilantik mereka memang ada kemampuan untuk menyelesaikan masalah pokok dalam masa yang singkat. Terima kasih.
YB Senai ini sepatutnya buat kerja YB eh? Bukan buat kerja ketua jabatan untuk interview kontraktor-kontraktor. Tapi saya jawab jugalah eh. Untuk makluman YB eh, betul, di peringkat kontraktor-kontraktor yang terpilih, dia ada syarat-syarat dia. Contoh eh, untuk mengeluarkan satu-satu sebut harga atau tender dia akan diiklankan. Lepas itu, ada syarat-syarat kontraktornya kena ada lesen kelas F, atau kelas D, atau kelas B, tengok berapa nilai harga itu.
Di dalam sebelum mereka menghantar dokumen ini kepada pihak MPKu yang mengeluarkan iklan, ada berbagai-bagai syarat yang perlu kontraktor patuhi dan sememangnya apa yang YB Senai itu cakap ada betulnya juga sebab ada kontraktor yang tidak memiliki sky lift. Sebab apa? Sebab kontraktor ini kadang-kadang, tahun ini mungkin dia dapat kerja, tahun depan dia tidak dapat kerja, lusa mungkin dia tidak dapat kerja. Kalau dia ada sky lift sendiri macam mana dia nak bayar sewa bulanan? Jadi apa yang di pihak syarat yang dikenakan di peringkat PBT ialah melonggarkan syarat sky lift ini dengan kaedah menyewa selama 24 jam. Jadi kontraktor itu sepatutnya, sepatutnya memang dah ada dalam syarat sebut harga menyewa atau memiliki sky lift sendiri. Dengan kaedah macam itu sahajalah. Sebab itulah saya nyatakan dengan YB Bentayan bahawa kontraktor-kontraktor yang mendapat kerja di PBT-PBT mereka kena bertugas dan bersedia 24 jam. Pasal kita tak tahu, ribut atau hujan lebat, dahan patah atau jatuh tidak tahu bila akan berlaku. Terima kasih.
Ya, jelas jawapan itu eh. Saya jemput Yang Berhormat Kukup.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Ke Pulau Kukup naik sampan, soalan Kukup nombor 8.
Adakah kerajaan negeri mempunyai inisiatif untuk membantu peladang dalam usaha meningkatkan kembali penanaman pokok kelapa yang semakin kurang di negeri Johor.
Nak pantun ke Speaker?
Ha, pantun. Jawab dengan pantunnya.
Pagi-pagi naik sampan, dengar jawapan nombor 8. (Dewan ketawa).
Ha, tahniahlah, Buloh Kasap. Pandai juga dia berpantun. (Dewan ketawa).
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat ADUN Kukup atas soalan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kelapa adalah antara tanaman utama di Johor. Untuk rekod pada tahun 2021, keluaran tanaman kelapa di Johor adalah seluas 12,151 hektar melibatkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran lebih kurang 118,278 metrik tan dan antara daerah pengeluar utama kelapa ialah Batu Pahat, Pontian dan Muar. Jumlah keluaran ini adalah melebihi anggaran keperluan permintaan kelapa di Johor. Iaitu lebih kurang 105,000 metrik tan setahun. Walau bagaimanapun, merujuk kepada Kadar Sara Diri Negara iaitu dengan kadar 66.6% ia menunjukkan kekurangan yang sangat ketara di seluruh negara. Justeru, sebagai pengeluar utama kelapa negara, Johor mensasarkan keluaran kelapa yang lebih besar dari semasa ke semasa. Untuk kegunaan dalam negara dan di pasaran lain. Ia bersesuaian dengan hasrat Johor sebagai food basket bagi Malaysia dan food bank bagi negara serantau.
Selain daripada itu, bagi menampung keperluan tersebut dan akibat tanaman yang rosak, kekurangan nutrien, masalah iklim, musuh tanaman, diserang penyakit, kelapa tua yang tidak ekonomik dan lain-lain masalah global. Tambahan baru kawasan kelapa atau tanaman semula kawasan kelapa yang diperlukan ialah sekitar 2,650 hektar. Bagi memenuhi keperluan kelapa negara dan mengekalkan Johor sebagai pengeluar utama kelapa, maka kerajaan merancang memberi fokus kepada tanaman ini. Untuk tempoh 5 tahun ke hadapan, kerajaan Johor merancang membangunkan kawasan tanaman kelapa 1,325 hektar dengan unjuran pengeluaran sebanyak 124,313 metrik tan menjelang tahun 2027.
Berkaitan keperluan benih kelapa pula, dianggarkan sebanyak 53,000 benih kelapa diperlukan setahun. Untuk rekod, Johor merupakan pengeluar utama benih kelapa negara iaitu di Pusat Pertanian Jorak dengan benih kelapa Matak, MYD dan MRD, dan Pusat Pertanian Parit Botak dengan benih kelapa pandan dengan keluaran sekitar 28,000 setahun. Ia memang tidak mencukupi. Justeru itu, kerajaan negeri Johor telah merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan mewujudkan pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor Kongkong, Masai di bawah kelolaan Jabatan Pertanian. Bagi menyokong aktiviti penanaman kelapa adalah menjadi dasar kerajaan negeri bagi setiap permohonan tanah kerajaan untuk mengusahakan tanaman untuk pertanian dengan menggalakkan penanaman kelapa. Kawasan-kawasan kelapa baru juga turut diwujudkan di kawasan di kawasan KEJORA, Kota Tinggi dan Projek Pertanian Moden Kluang. Program-program menggalakkan rakyat untuk penanaman kelapa juga diwujudkan melalui program bantuan benih-benih kelapa bagi meningkatkan lagi keluaran tanaman dan seterusnya meningkatkan pengeluaran kelapa.
Jabatan Pertanian akan terus menggalakkan pekebun-pekebun kecil supaya memajukan tanaman kelapa mereka dengan cara menanam semula kawasan-kawasan kelapa tua yang sedia ada dengan memperkenalkan klon baru yang bermutu tinggi seperti kelapa Matak dan kelapa pandan.
Pada tahun 2022, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 terhadap program pemulihan atau tanam semula kelapa negeri Johor melibatkan kawasan
seluas 463 hektar. Manakala pada tahun 2022 juga, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM400,000.00 untuk program pemulihan atau tanam semula kelapa negeri Johor seluas 96 hektar.
Bagi pengusaha-pengusaha penanaman kelapa sedia ada, yang tersebut di atas tadi, kerajaan negeri turut menggalakkan mereka untuk mengusahakan tanaman secara integrasi atau selingan seperti tanaman koko dan kopi. Ianya secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pengeluaran tanaman makanan lain hasil selain kelapa sedia.
Sebagai kesimpulan. Datuk Speaker. Tanaman kelapa adalah antara tanaman yang berpotensi untuk diusahakan di Johor. Sekian, terima kasih.
Ya, Kukup, sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk EXCO di atas jawapan yang sungguh memberangsangkan. Soalan tambahan saya, apakah bentuk inisiatif atau bantuan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan negeri terhadap pengusaha-pengusaha tanaman kelapa yang gagal ataupun mengalami masalah kerugian akibat bencana alam, atau pun serangan perosak? Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kukup adalah berkaitan dengan bencana alam dan bencana alam yang dikaitkan dengan bantuan ini ialah seperti yang melibatkan kejadian banjir, ombak besar, ribut taufan, gempa bumi, kemarau dan sebagainya termasuk juga penyakit haiwan ternakan, penyakit pencemaran alam, kerugian dan sebagainya. Dan antara bentuk bantuan yang disediakan oleh Jabatan ialah termasuk infrastruktur asas ladang, input pertanian untuk menggantikan benih dan baja, membantu peralatan seperti mesin dan juga kawalan perosak penyakit. Walau bagaimanapun Datuk Speaker, saya mencadangkan supaya mereka yang terlibat dengan bencana alam ini yang memerlukan bantuan supaya berhubung dengan agensi-agensi kerajaan, agensi pertanian termasuk Jabatan Pertanian dan sebagainya. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat orang kanan saya, Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9, sangat dihargai.
Mohon pihak Jabatan Agama Islam Johor menghapuskan bayaran bagi peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA).
Bismillahirrahmanirrahim (bacaan selawat). Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senggarang atas soalan. Tak ada pantun saya mula dengan pantun, ‘Hentian Mahkota jeti nelayan, asam pedas ikan siakap, terima kasih Datuk Speaker budiman, benarkan Semerah bangun menjawab’.
Yang Berhormat Senggarang bertanya tentang permohonan sama ada Jabatan Agama Islam Negeri Johor boleh menghapuskan bayaran bagi peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA). Sebelum itu Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya mengalu-alukan kehadiran pemerhati dari Semerah dan juga Sri Medan, Parit Sulong pada pagi ini. Mereka berada di ruang pemerhati. (Dewan bertepuk). ‘Kasihkan Semerah bagai ditatang, Parit Sulong indahnya pekan, saya ucapkan selamat datang, selepas sidang Dewan kita pergi makan’. Insya-Allah. Untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan...
Makan kat mana tu Yang Berhormat? Pergilah tempat yang mahal sikit.
Ya Datuk, memang itu yang cuba, orang Semerah ni biasa asam pedas Datuk, hari ini kita bawa lain sikitlah, insya-Allah. Datuk saya kena ucap selamat hari jadi juga Datuk sebab Tok Pah sebab hari ini hari jadi Yang Berhormat Mahkota kita. (Dewan bertepuk). Kita doakan mudah-mudahan Yang Berhormat Mahkota kita dilimpahi dengan kesihatan bahkan lebih kaya raya dengan berkat rezekinya, insya-Allah. Saya difahamkan hari ini ulang tahun beliau yang ke-26, Datuk Speaker. (Dewan bertepuk).
Dah ada pasangan baharulah...(Dewan ketawa).
Yang itu Majlis Agama Islam boleh bantu Datuk. Lembaga Peperiksaan, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor adalah sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab bagi mengurus semua peperiksaan awam Sekolah Agama Negeri Johor sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat menengah. Jenis peperiksaan yang dikendalikan di peringkat rendah ialah Sijil Darjah Enam Agama, Sijil Darjah Khas Agama manakala peperiksaan di peringkat menengah ialah Sijil Intensif Bahasa, Sijil Menengah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama.
Berdasarkan perbelanjaan tahun 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, kenapa saya ambil contoh 2019 Datuk Speaker? Ia menggambarkan keadaan sebenar perbelanjaan yang digunakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pengoperasian peperiksaan bagi kedua-dua peringkat ini adalah sebanyak RM1.3 juta. Saya bacakan sedikit lampirannya. Jumlah ini adalah bagi tujuan mengurus pengoperasian peperiksaan sepanjang tahun bermula dari proses pendaftaran sehingga keputusan diisytiharkan. Secara terperinci antara perbelanjaannya meliputi program-program seperti berikut, mesyuarat peperiksaan, taklimat dan bengkel-bengkel peperiksaan, pembelian dan bekalan buku resit, kertas, sijil, alat tulis, slip keputusan, borang dan pencetak, perkhidmatan cetakan soalan peperiksaan bersijil dan peperiksaan akhir tahun satu hingga lima, tuntutan perjalanan dan bayaran elaun-elaun pemeriksa ujian lisan, pengawas, penanda skrip jawapan dan juga majlis pengisytiharan keputusan peperiksaan itu sendiri.
Saya juga suka maklumkan Datuk Speaker bahawa kadar yuran yang dikenakan di negeri Johor ini pada umumnya masih berkadaran rendah. Sijil Darjah Enam Agama, Darjah Enam dengan kertas bilangan 9 kertas, yurannya hanyalah RM20.00, bagi Sijil Darjah Khas Agama bagi Darjah Khas bilangan kertas peperiksaan 12 kertas, yurannya hanya RM30.00, bagi Sijil Intensif Bahasa bagi Tingkatan 1 dengan dua kertas RM30.00, Sijil Menengah Rendah Agama bagi Tingkatan 2, bilangan kertas 6 RM70.00 dan bagi Sijil Menengah Agama (SMA) Tingkatan 4 yang mempunyai 3 bidang dan juga 5 bidang masing-masing hanya berjumlah RM40.00 dan RM60.00 sahaja Datuk Speaker. Walau bagaimanapun, cadangan dan hasrat daripada Yang Berhormat Senggarang akan kami teliti sebaiknya. Insya-Allah Datuk Speaker, sekiranya pun ianya tidak dihapuskan bagi tujuan komitmen, kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri boleh membantu dari segi menambahkan beberapa sumber-sumber kewangan khususnya untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan dan susah Datuk Speaker. Terima kasih.
Ya sila Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya masih berkisar tentang Darjah Khas SKANJ, terima kasih juga YB EXCO atas jawapan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya, Senggarang difahamkan bayaran elaun untuk tenaga pengajar, guru-guru yang mengajar di Darjah Khas ini ialah sebanyak RM60.00 ketika ini bagi setiap pertemuan. Soalan Senggarang ialah bilakah semakan dan kenaikan elaun RM60.00 dibuat? Justeru Senggarang juga mohon untuk
dibuat semakan sekali lagi dan dinaikkan elaun ini sebanyak RM120.00 bagi setiap pertemuan. Terima kasih Datuk Speaker.
Datuk Speaker, terima kasih YB Senggarang atas soalan tambahan. Datuk Speaker, memang dalam kapasiti portfolio saya kita sedang meneliti seberapa banyak bilangan keperluan bagi menimbang semula beberapa allowance dan bayaran yang perlu dibayar ke dalam pengoperasian Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Saya juga telah pun membuat libat urus di semua daerah, di 10,10 daerah, memang inilah Datuk Speaker di antara permintaan rakyat kita dan petugas-petugas kita di lapangan. Mudah-mudahan Datuk Speaker, bagi permulaan tahun ini, 7 bulan pertama ini seperti mana yang telah dibentangkan oleh Datuk Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, kita meneliti peringkat berperingkat.
Saya juga suka mengumumkan dan mengulang semula dalam tempoh yang terhad ini kerajaan negeri sudah pun melalui bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor menaikkan allowance bagi Penggerak Masjid. Kemudian kita juga telah menambah allowance bagi guru-guru al-Quran. Yakin dan percayalah di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar semua keluhan bahkan permintaan rakyat Johor akan diperhalusi sebaiknya. Ia juga termasuk guru-guru agama kita, guru-guru KAFA kita bahkan pegawai masjid, imam, bilal, noja yang berada di seluruh negeri kita. Saya mohon sedikit masa lagi, benarkan kerajaan negeri untuk membuat penelitian bahkan ianya menjadi komitmen besar saya untuk meneliti dan membantu dan berusaha menaikkannya, insya-Allah. Terima kasih Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini juga mengalu-alukan kehadiran tiga orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Johor Lama dan dua orang daripada Pejabat ADUN Maharani. Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.
Nyatakan kekerapan, berapa kali berlaku banjir kilat di kawasan masai dan Lebuh raya Pasir Gudang serta rancangan penyelesaian.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Tadi saya jawab soalan pasal tak ada air, kali ini yang terlebih air, banjir.
Untuk makluman Yang Berhormat Johor Jaya, bagi tahun 2022 sebanyak lima kejadian banjir telah direkodkan di sekitar kawasan Masai iaitu pada 28 Jun 2022, 5 September 2022, 6 September 2022, 5 Oktober 2022 dan 12 November 2022. Dan sebanyak dua kali kejadian banjir direkodkan di Lebuh raya Pasir Gudang iaitu pada 28 Jun 2022 dan 5 September 2022. Bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Masai Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor telah melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Masai melalui peruntukan kerajaan negeri. Pada ketika ini, projek dalam peringkat reka bentuk dan dijangka akan siap proses reka bentuk pada tahun hadapan. Manakala pelaksanaan fizikal pula dijangka akan bermula pada suku tahun keempat 2023, bergantung kepada peruntukan tahun semasa dan penyelesaian isu tanah di jajaran projek tersebut.
Untuk Lebuh raya Pasir Gudang pula Yang Berhormat, Lebuh raya Pasir Gudang ini terletak di bawah tanggungjawab JKR, JKR insya-Allah akan menyelenggara saliran tepi jalan, akan melaksanakan mengikut jadual pada tahun hadapan. Manakala bagi kawasan yang memerlukan pembaikan termasuk menaik taraf culvert akan dilaksanakan pada tahun 2023 menggunakan peruntukan MARRIS. Namun begitu Yang Berhormat, kalau saya boleh
tambah, kejadian banjir kilat pada 5 Disember yang lalu, 5 September yang lalu didapati hujan adalah sangat lebat sebanyak 90 milimeter per jam dalam tempoh satu setengah jam. Siasatan mendapati air lumpur berpunca daripada kawasan pembangunan berhampiran. Oleh itu, pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mengarahkan pemaju untuk mengorek kolam takungan. Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, air itu merupakan keperluan asas bagi masyarakat. Jadi air kurang pun masalah, air lebih pun masalah. So, soalan tambahan saya. Tadi YB EXCO telah menerangkan, saya cuma nak tanya dalam satu tahun ini sebab telah banyak kali berlaku dengan banjir kilat di Lebuh raya Pasir Gudang, so walaupun JKR merancang untuk buat apa, kerja-kerja pada tahun hadapan, tetapi ini nampaknya dalam masa ni adalah masa yang sangat kritikal. So, saya mohonlah kerja-kerja boleh ditambahkan sebab bukan sahaja banjir kilat tetapi nampaknya apa lubang-lubang jalan tu pun banyak yang perlu dilaksanakan oleh JKR. So, sama ada satu special task force yang mungkin terlibat dengan Jabatan Meteorologi boleh dalam apa special task force ini supaya kalau air hujan turun dengan banyak bolehlah bagi amaran lebih awal kepada pengguna jalan raya supaya tidak menggunakan jalan tersebut. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Untuk makluman Lebuh raya Pasir Gudang tadi jangka masa panjangnya untuk tahun depan kita akan besarkan culvert dan naik taraf culvert tersebut tapi untuk tahun ini telah pun dilaksanakan beberapa projek untuk penyelesaian jangka pendek iaitu JPS Negeri Johor telah membina dua unit pintu air dan meninggikan sebahagian tebing di Sungai Rinting. Antara penyebab utama itu adalah saliran parit milik JKR ok tapi disebabkan air terlalu tinggi daripada Sungai Rinting dia masuk semula ke dalam apa tu, laluan kenderaan di Lebuh raya Pasir Gudang.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, saya dan juga Yang Berhormat EXCO JPS, Alam Sekitar telah mengadakan beberapa siri libat urus dengan pihak-pihak Majlis, JKR, pihak Meteorologi dan sebagainya untuk kita buat kajian lebih terperinci. Kita dah senaraikan hotspot-hotspot banjir terutamanya di negeri Johor. Hotspot untuk banjir kilat dan insya-Allah dalam beberapa masa terdekat saya dan juga YB EXCO akan berbincang dan menengok macam mana untuk kita atasi seperti contoh amaran lebih awal kepada pengguna. Terima kasih Yang Berhormat.
Dijemput Yang Berhormat Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan 11, terima kasih.
Mengapakah MPK tidak mengambil tindakan terhadap aduan (No Aduan: MPK: 134/11/20) longkang pecah, jalan rosak dan retakan pada jalan di Taman Gunung Lambak yang telah diadukan pada November 2020?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh kepada Datuk Speaker, YB Mengkibol menanyakan mengapakah Majlis Perbandaran Kluang tidak mengambil tindakan terhadap aduan (MPK: 134/11/20) longkang pecah, jalan rosak dan retakan pada jalan di Taman Gunung Lambak yang telah diadukan pada November 2020? Yang Berhormat Datuk Speaker secara umumnya, semua aduan yang diterima akan ditapis, disusun mengikut keutamaan dan berapa teruk kerosakan yang berlaku, Pihak Berkuasa Tempatan akan menilai segala risiko dan bahaya kepada orang awam dan seterusnya melihat kepada kemampuan kewangan yang ada. Sekiranya aduan yang diterima dinilaikan kurang memberi risiko kepada orang awam, PBT akan menjalankan kerja-kerja pembaikan di kawasan yang lebih diberi
keutamaan. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi aduan MPK 134/11/20, pihak Majlis Perbandaran Kulai telah pun melantik kontraktor untuk membaiki kerosakan tersebut dengan kos berjumlah RM20,000.00. Kerja-kerja di tapak telah bermula pada 21 November dan dijangka siapa pada 15 Disember ini. Kerja-kerja yang dilaksanakan adalah sebagaimana berikut: kerja-kerja membina tembok, meratakan, memadatkan tanah, kerja-kerja menurap jalan dan kerja-kerja menabur dan menambak batu crusher run. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Seperti gambar yang saya tunjukkan di Dewan semalam, lubang ini memang sangat besarlah boleh muat satu motosikal. Jadi, terima kasih atas jawapan bahawa akan disiapkan bulan ini, terima kasih. Jadi soalan tambahan saya, disebabkan kita banyak aduan orang awam yang diserahkan kepada jabatan-jabatan kerajaan tidak dapat respons, jawapan langsung, whatsapp pun tak ada jawab, minta jemput buat appointment tak dapat. Contohnya kes ini, sebenarnya satu contoh sahaja, keep of the eyes bird dan pejabat ADUN Mengkibol hantar 3 pucuk surat, whatsapp dan sebagainya, no response. Ini sebagai contoh sahaya, saya harap pihak kerajaan ataupun Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Negeri boleh memberi satu arahan yang lebih jelas kepada para PBT supaya aduan awam, ini bukan YB minta apa kemudahan ke, pengecualian kompaun tak ada. Saya pun terima banyak kompaun parking tetap bayar. Saya harap satu sikap yang lebih responsif, profesional tak kira kami dari barisan kerajaan ke pembangkang. Sekian, terima kasih.
Ya sila.
Terima kasih kepada YB Mengkibol, kita ambil maklum tentang isu yang diutarakan. Insya-Allah kita akan tengok apa yang perlu diperbaiki. Terima kasih.
Dijemput, Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, lontong darat ketupat palas, soalan Senggarang nombor 12.
Mohon pihak JPS menghidupkan semula gate air di Kampung Patah Pedang dan Sungai Suloh serta menambah gate air di Kampung Sungai Ayam memandangkan gate air yang sedia ada tidak dapat mempercepatkan pengaliran air keluar terutamanya di musim tengkujuh.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Senggarang. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman operasi flap gate air Kampung Patah Pedang telah terhenti beroperasi pada tahun 1995, manakala gate Sungai Suloh Barat telah berhenti beroperasi pada tahun 2001. Ini adalah kerana muara pintu air tersebut telah tertutup oleh mendapan lumpur. Untuk makluman semua Ahli Dewan, proses mendapan ini merupakan satu proses semula jadi yang biasa berlaku di kawasan pantai sama ada pantai berlumpur atau pantai berpasir. Proses pemendapan ini merujuk kepada bahan-bahan yang diangkut oleh agen-agen pengangkutan pinggir pantai, di pantai atau berhampiran pantai oleh agen-agen pemendapan pinggir laut seperti ombak, angin, arus dan pasang surut lalu membentuk bentuk-bentuk muka bumi pinggir pantai seperti anak tanjung, beting pasir dan pantai. Antara faktor yang mempengaruhi pemendapan pinggir pantai ialah ombak, arus. Sorry, untuk makluman Ahli Dewan, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek pihak jabatan telah menjalankan kerja-kerja pembersihan parit dan pintu air di Sungai Ayam secara berkala dan penggalian muara sungai dijalankan sekali dalam setahun bagi memastikan pintu air tersebut dapat berfungsi dengan sempurna mengalirkan air banjir. Kos penggalian muara Sungai Ayam ini adalah sebanyak RM200,000.00 dan kerja ini dijalankan sekali dalam setahun. Ini merupakan penyelesaian yang paling cepat dan melibatkan kos yang
rendah. Bagi penyelesaian jangka panjang, jabatan akan menjalankan kajian semula dan mengemukakan cadangan menaik taraf pintu air Sungai Ayam bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan mengalirkan air keluar dari Sungai Ayam. Sekian, terima kasih.
Saya jemput, Senai.
Terima kasih Datuk Speaker, soalan saya 13.
Sila nyatakan rancangan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dalam usaha menambah destinasi antarabangsa baharu dan penerbangan domestik pada masa yang akan datang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senai. Soalan nombor 5 saya hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Senai, pada 1 November 2003, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian konsesi dengan pihak kerajaan Malaysia yang telah memberi keizinan secara eksklusif untuk mengurus, mengendali, menyelenggara dan membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) bagi tempoh 50 tahun sehingga 31 Oktober 2053. Justeru itu, sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai diurus dengan baik, Senai Airport Terminal Sdn. Bhd. telah mengambil pelbagai usaha dan inisiatif bagi menarik minat syarikat-syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa untuk penerbangan terus ke negeri Johor. Pada tahun ini, tahun 2022 kita dapat menarik penerbangan daripada Surabaya, Jakarta, Ho Chi Minh dan juga Bangkok dan untuk tahun ini tiada daripada domestik. Dan pada tahun ini sahaja Yang Berhormat, jumlah penumpang yang telah masuk menggunakan Airport Senai ialah sebanyak 1.86 juta pengguna.
Kita menghadapi beberapa isu disebabkan COVID yang melanda dunia di mana perintah kawalan PKP dilaksanakan termasuk larangan perjalanan antara negeri serta penutupan sempadan antarabangsa. Untuk makluman Yang Berhormat, kita kekal iltizam untuk menarik dan meyakinkan pelbagai industri di antaranya ialah pelancongan perubatan, medical-tourism, pengajian tinggi, edu-tourism, pelancongan sukan, sport-tourism, pelancongan eko, eco-tourism dan sebagainya agar dapat melengkapkan rangkaian laluan dari semua destinasi asian dan antarabangsa. Untuk makluman Yang Berhormat, kita menjangkakan pada tahun sehingga tahun 2027 sebanyak 14 penerbangan domestik, 15 penerbangan asian dan 11 penerbangan antarabangsa. Iaitu ke Guangzhou, Incheon, Busan, Jeju, Shenzhen, Almaty, Taipie, Fiocchi, Hong Kong, Tashkent dan Guilin. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih jawapan yang diberikan dari warga YB EXCO. Soalan tambahan saya, memandangkan Senai Airport adalah pintu masuk negeri Johor, apa rancangan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam untuk menuju ke Senai Airport? Seperti projek BRT dan RTS yang sedang dirancang oleh kerajaan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senai. Untuk makluman, projek pengangkutan yang akan menghubungkan Senai dan ke tempat lain ialah projek IRT, Iskandar Rapid Transit yang dijangka bermula pada tahun hadapan projek pembinaannya. Oleh itu, kita dapat penyuraian trafik daripada Airport Senai sendiri. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Oleh kerana soalan ini penting, saya benarkan soalan nombor 14. Tetapi tiada soalan tambahan. Silakan.
Terima kasih tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 14.
Apakah usaha kerajaan negeri bagi membantu Orang Asli di negeri Johor meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan mereka? Saya percaya kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada JAKOA semata-mata dalam membantu masyarakat Orang Asli.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih kepada ADUN Skudai atas soalan 14. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor amat menekankan akan pendekatan kolaborasi antara jabatan bagi tujuan membangunkan dan meningkatkan kualiti hidup Orang Asli dalam pelbagai aspek. Contohnya, dalam aspek pembangunan aktiviti ekonomi masyarakat Orang Asli, kerjasama strategik antara JAKOA dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan sentiasa diperkukuhkan. Kerjasama strategik tersebut termasuklah perkongsian kepakaran bidang masing-masing serta insentif jabatan dan agensi masing-masing yang turut melibatkan peserta dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Penglibatan ECER dalam wilayahnya di daerah Mersing dan Segamat juga menekankan pembangunan kualiti hidup dan sosioekonomi masyarakat Orang Asli dengan bantuan-bantuan insentif atau program pembangunan yang disasarkan khusus untuk mereka. Selain itu, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia bagi menumpukan usaha pembasmian kemiskinan tegar di seluruh negara. Pelaksanaan ini turut diperluaskan kepada kampung Orang Asli terpilih. Bagi fasa pertama, Kampung Orang Asli Kampung Pasir Intan telah terpilih dengan memberi manfaat kepada 55 ketua isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM740,000.00. Dan fasa kedua akan menuruti selepas ini diperluaskan kepada daerah-daerah lain iaitu Kampung Orang Asli Pasir Salam, Johor Bahru dan Kampung Orang Asli Ulu Juaseh, Segamat dengan melibatkan 52 ketua isi rumah. Kerajaan negeri melalui Belanjawan 2023 turut memperuntukkan sejumlah RM452,000.00 iaitu RM152,000.00 diperuntukkan untuk pelaksanaan Program Pembangunan Modal Insan Masyarakat Orang Asli dan bagi meningkatkan keupayaan Orang Asli untuk bersama membangunkan sosioekonomi negeri Johor.
Manakala RM300,000.00 pula diperuntukkan bagi pembangunan Kampung Orang Asli Sejahtera, insentif ini akan memperkasakan institusi Orang Asli yang cekap dan berkesan bagi memacu pembangunan mampan dan menjadi contoh kepada kampung Orang Asli yang lain. Bagi meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan masyarakat Orang Asli, JAKOA Negeri Johor telah menyalurkan pelbagai bantuan antaranya seperti, bagi tahun 2021 sebanyak RM1,486,967.00 telah disalurkan kepada 235 Orang Asli masyarakat merangkumi bantuan peralatan menangkap ikan, menternak madu kelulut, input pertanian, baka ternakan, latihan serta lain-lain bantuan yang berkaitan dengan Orang Asli. Yang kedua, sebanyak RM178,980.00 telah disalurkan kepada 36 orang usahawan Orang Asli yang merangkumi bantuan usahawan kedai runcit, usahawan bakery, usahawan kedai makan, usahawan cookies, usahawan bengkel motosikal, latihan serta lain-lain bantuan yang berkaitan. Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM100,000.00 bagi projek ternakan kupang di Kampung Orang Asli Seri Pantai Senggarang, Batu Pahat.
Untuk tahun 2022 pula, seramai 274 orang masyarakat Orang Asli telah menerima peruntukan berjumlah RM699,980.00 yang merangkumi bantuan peralatan menangkap ikan, ternakan madu kelulut, input pertanian, baka ternakan, latihan dan lain-lain. Dan yang kedua, seramai 14 orang masyarakat Orang Asli menerima peruntukan sebanyak RM108,000.00 merangkumi bantuan usahawan kedai runcit, usahawan bakery, usahawan kedai makan, cookies dan lain-lain. Sekian, terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini ditangguhkan hingga jam 11.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.05 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022.Bill
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Kedua Enakmen Perbekalan (2023) Tahun 2022 disambung sekarang. Sebelum itu izinkan saya mengalu-alukan kehadiran pemerhati iaitu 17 orang daripada Pejabat ADUN Semerah (Dewan bertepuk), 20 orang daripada Pejabat ADUN Larkin (Dewan bertepuk), dan 41 orang daripada Pejabat ADUN Senggarang (Dewan bertepuk). Ah ni dari kawasan saya ni. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, dipersilakan.
Bismillahirrahmanirrahim. (Membaca Doa). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker atas ruang yang diberikan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, atas kemeriahan Dewan kita ini, izinkan saya mengabadikan serangkap pantun. Jalan-jalan di Pekan Semerah, Beli ubi walau sebatang, Kita rasa sangat meriah, sebab galeri pemerhati ramai yang datang.
Datuk Speaker, ini adalah cantiknya unsur demokrasi di dalam negeri kita, membenarkan para pemerhati bahkan di kalangan rakyat terbanyak untuk hadir dan mendengar sesi perbahasan Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita hadir dalam Mesyuarat Keempat Belanjawan 2023 Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor kali ke-15.
Saya memulakan sesi penggulungan pada pagi ini dengan merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, pada tanggal 22 November yang lalu. Patik dan rakyat Semerah khususnya, serta Johor amnya, berdoa ke hadrat Allah SWT agar Duli Yang Maha Mulia Tunku Sultan Johor dan juga Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Johor dikurniakan keselamatan dan kesihatan serta dilanjutkan apalah jua kiranya akan usia Tuanku berdua serta bertambah-tambah lagi kebesaran dan kedaulatan.
Di samping itu, patik juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022. Patik juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia baru-baru ini. Manakala Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dilantik sebagai Pro Canselor UTHM pada 3 Disember yang baru lalu. Kita juga mengabadikan ucapan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani yang juga dilantik sebagai Pro Canselor UTHM. Kita juga sama-sama mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Didoakan agar semua jemaah menteri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat menggalas tugas sebaik-baiknya.
Datuk Speaker, ketertinggian tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, yang telah melahirkan gagasan inspirasi rakyat berteraskan “Maju Johor Makmur Bersama Rakyat” dalam pembentangan belanjawan kali ini. Sesungguhnya menginsafi bahkan melibatkan diri dalam prosesnya, belanjawan kali ini telah mengambil kira cadangan dan pandangan daripada semua pihak termasuk rakyat terbanyak. Melalui portfolio Hal Ehwal Agama Islam sendiri sesi libat urus di seluruh daerah seluruh Johor menyaksikan kita sendiri turut mendapatkan dapatan secara terus dari pemegang-pemegang taruh di seluruh negeri Johor bagi mendapatkan pandangan, bertanyakan soalan bahkan masyarakat sendiri boleh terus memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada kerajaan negeri Johor. Saya kira Yang Berhormat Datuk Speaker, kaedah yang sedang kerajaan Johor lakukan ini bertepatan dengan surah as-Shod, ayat 26, saya bacakan, (bacaan surah). “Wahai Daud, sesungguhnya engkau Kami jadikan khalifah, penguasa di bumi maka berilah keputusan perkara di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”.
Saya mulakan penggulungan pada pagi ini dengan menjawab isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat ADUN sekalian. Bagi menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Pemanis, yang juga saya jawab bersekali persoalan dari ADUN Layang-Layang yang mencadangkan agar elaun imam surau Jumaat dinaikkan dan dikaji semula elaun pegawai masjid dan surau. Untuk makluman Dewan yang mulia, tugasan sebagai pegawai masjid dan surau ini adalah bagi memartabatkan syiar agama Islam, justeru kita berterima pada Majlis Agama Islam Negeri Johor yang memperuntukkan RM6.1 juta, manakala kerajaan negeri Johor sebanyak RM6.5 juta untuk membayar elaun bilal, imam, noja surau pada tahun ini. Tambahan pula, terdapat beberapa siri bantuan One-Off melalui Bantuan Kasih Bangsa Johor yang memperuntukkan RM500.00 pada setiap pegawai masjid dan surau seluruh negeri Johor meliputi penerima elaun kerajaan ataupun bukan penerima elaun kerajaan.
Selain itu, mereka juga diberikan insentif dari pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor, di mana telah bersetuju memberikan Bantuan Khas berjumlah RM1,000.00 kepada setiap pegawai masjid dan surau yang bukan penerima elaun kerajaan. Dengan pelbagai bantuan khas yang diberikan pada tahun 2022 ini kepada semua pegawai masjid dan surau, bermakna kerajaan kini telah menunjukkan keprihatinan dalam mengambil berat terhadap institusi keagamaan terutamanya bagi masjid-masjid dan surau-surau. Tambahan pula, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya maklumkan pada pagi ini sendiri, sedang berlangsung perbincangan di antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan PERKESO, bagi meneliti kemungkinan besar kita akan mula mencarumkan semua pegawai masjid dan surau dengan caruman PERKESO bagi memastikan kebajikan mereka yang bangun seawal subuh dan menutup pintu masjid seakhir Isyak akan terpelihara dengan baik (Dewan bertepuk). Inilah yang saya katakan, kerajaan Johor pada hari ini akan meneliti setiap keperluan, mendengar setiap perincian dan suara rakyat untuk diterjemahkan sebagai kebajikan negeri Johor yang makmur, insya-Allah.
Persoalan yang berikutnya dibangkitkan oleh ADUN Pemanis, adalah mencadangkan masjid, surau, sekolah agama dan tanah wakaf di FELDA diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam. Untuk makluman Dewan yang mulia, ini melibatkan isu akta tanah yang melibatkan GSA, Group Settlement Area yang juga memungkinkan penglibatan kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor bersedia untuk mengambil alih tanah-tanah ini selepas diwakafkan. Namun Datuk Speaker, perincian, prosesnya perlu melibatkan tindakan kerajaan persekutuan bagi membolehkan pindah milik ini berlaku. Maka saya kira, dengan adanya kerajaan perpaduan yang baru, perbincangan-perbincangan lanjutan di antara kerajaan negeri dengan pihak FELDA boleh diteruskan untuk memungkinkan
peruntukan-peruntukan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam boleh terus diberikan kepada sekolah agama, masjid, surau yang berada dalam kawasan FELDA.
Persoalan terakhir yang dibangkitkan oleh ADUN Pemanis, mengenai cadangan supaya hari pembelajaran kelas Darjah Khas dipinda dari hari Sabtu kepada hari Khamis. Untuk makluman Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian, cadangan tersebut perlu diperhalusi berikutan murid Darjah Khas adalah murid yang sama belajar di Tingkatan Satu pada hari Khamis di sekolah menengah harian ataupun asrama. Selain itu, guru-guru yang mengajar kelas Darjah Khas juga adalah guru yang sama yang mengajar di Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sekiranya pindah kelas darjah khas ini dibuat pada hari Khamis, ia mungkin boleh menyebabkan ketiadaan guru, kekurangan guru, kerana gurunya bertindan dan bertindih sesi pendidikannya. Walau bagaimanapun, pihak portfolio Agama Islam mengambil cadangan ini untuk diperhalusi dan dikaji bagi menghormati cadangan yang diberikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semasa sesi perbahasan tempoh hari, Yang Berhormat Panti dan Yang Berhormat Kemelah memohon agar peruntukan penyelenggaraan sekolah agama, masjid, surau diberi perhatian. Terima kasih Yang Berhormat Panti dan Yang Berhormat Kemelah atas keprihatinan Yang Berhormat-Yang Berhormat atas isu ini. Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor sedar dan akan mengambil maklum tentang situasi yang berlaku di DUN Yang Berhormat-Yang Berhormat.
Bagi dua persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Senggarang mengenai keadaan Sekolah Agama Parit Kadir yang telah uzur, dan cadangan pemberian laptop kepada setiap sekolah bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran. Menjawab soalan pertama, permohonan baik pulih Sekolah Agama Parit Kadir telah pun dimajukan ke Bahagian Pembangunan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Juruteknik Jabatan Agama Islam telah pun membuat tinjauan di sekolah tersebut pada 16 Ogos yang lalu. Hasil tinjauan, kerja-kerja baik pulih akan mula dilaksanakan pada awal 2023 menggunakan bajet peruntukan yang insya-Allah, bakal diluluskan nanti.
Soalan seterusnya mengenai pemberian komputer riba kepada sekolah-sekolah agama. Kita sangat memahami keperluan ini, dan kita akan meneliti permohonan ini Datuk Speaker. Mudah-mudahan ada kaedah bagi peruntukan yang kita boleh olahkan, insya-Allah. Dan Yang Berhormat Endau, berkenaan kadar pengurusan jenazah dan pentauliahan pengurusan jenazah di hospital. Melalui Enakmen Pentadbiran negeri Johor setakat ini, tiada apa-apa klausa peruntukan yang boleh mengehadkan kadar pengurusan jenazah ataupun pentauliahan khas kepada individu yang menguruskan jenazah, khususnya di hospital. Walau bagaimanapun, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor sedang membuat penelitian bagi maksud cadangan ini untuk kita mencadangkan kos-kos tertentu dan kadar harga yang berpatutan bagi maksud menyelaraskan kos pengurusan jenazah di semua daerah, insya-Allah. Dan bagi tahun ini sendiri Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan RM62,000.00 bagi waris yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos pengurusan jenazah dengan sasaran 100 kit pengurusan untuk 100 orang di seluruh daerah pada peringkat permulaan ini. Bermakna, bagi masyarakat yang kurang berkemampuan, peruntukan bagi pengurusan jenazah akan disalurkan.
Yang Berhormat Layang-Layang juga membangkitkan 4 isu semasa perbahasan beliau. Dan satu daripadanya saya telah menjawab semasa awal penggulungan tadi. Bagi 3 isu yang lain iaitu cadangan untuk menaikkan skim penghafaz al-Quran, had umur Jurunikah dikaji semula dan perancangan Bahagian Pendidikan Islam bagi memastikan guru-guru sekolah tidak berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Persoalan pertama, mengenai cadangan menaikkan skim penghafal al-Quran di negeri Johor. Untuk makluman Datuk Speaker dan Dewan yang mulia, hasil semakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, di beberapa buah negeri seperti di Selangor dan Kelantan juga Terengganu mendapati setakat ini, Johorlah di antara negeri yang memberikan elaun kepada penghafaz yang antara yang
tertinggi iaitu berjumlah RM1,000.00 banyaknya. Mudah-mudahan cadangan kenaikan ini boleh juga kita perhalusi bergantung kepada kewangan negeri, insya-Allah.
Untuk soalan kedua, mengenai cadangan had umur Jurunikah dikaji semula. Untuk makluman Dewan yang mulia, menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor, Penolong Pendaftar Pernikahan, Penceraian Dan juga Rujuk orang Islam atau Jurunikah dilantik berdasarkan Seksyen 28(2) Enakmen Keluarga Islam. Calon-calon ini perlulah mendapat ulasan tahap kesihatan dari pegawai-pegawai perubatan yang bertugas. Skop tugasan Jurunikah ini bukan sahaja urusan menikahkan pasangan, bahkan membantu Pendaftar Daerah dalam semua urusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk orang Islam. Had maksimum yang dibenarkan bagi Jurunikah untuk kali ini berumur 70 tahun. Bermakna, bermaksud jika Jurunikah tersebut telah melepasi umur ini ia berkemungkinan mempunyai masalah kesihatan dan untuk itulah sebab ianya dihadkan bagi tujuan kelancaran pengurusan.
Soalan terakhir daripada Yang Berhormat Layang-Layang mengenai perancangan Bahagian Pendidikan Islam, bagi memastikan guru-guru sekolah agama tidak berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Kerajaan Johor sedar bahawa tahun ini berlakunya pemindahan guru-guru sekolah agama ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini bermaksud ada tawaran yang lagi baik di pihak Kementerian Pendidikan. Menyelami dan menginsafi perkara ini, Jabatan Agama Islam Negeri Johor sedang mengkaji untuk menambah baik skim perjawatan guru-guru dengan menimbal guna sistem kenaikan pangkat time-based berdasarkan kecemerlangan yang diguna pakai oleh KPM. Dengan cara ini, guru-guru kita sekolah agama yang bergred DG29 hanya memerlukan 8 tahun sahaja untuk kenaikan gred ke Gred DG32 berbanding sebelum ini memerlukan 10 tahun. Guru-guru yang layak akan mengambil ujian kompetensi untuk kenaikan pangkat. Setakat ini Jabatan Agama Islam bahawasanya menyiapkan modul kompetensi sebelum diserahkan ke Bahagian Sumber Manusia untuk diproses selanjutnya. Sekali lagi buktikan bahawa kerajaan hari ini menyelami, memahami keperluan guru-guru sekolah agama atas kelewatan, kelambatan kenaikan pangkatnya disebabkan oleh sistem kenaikan pangkat yang tidak mengikut Kementerian Pendidikan Malaysia. Insya-Allah, penambahbaikan Datuk Speaker akan berlaku sedikit masa lagi.
Sesi penggulungan saya diteruskan dengan menjawab Yang Berhormat Penawar mengenai isu kepadatan murid dan kekurangan tenaga pengajar di Sekolah Agama Bandar Penawar. Kami menyedari perkara ini dan Sekolah Agama Bandar Penawar telah pun menjadi keutamaan bagi maksud pembinaan fasa baru dan isu penyelesaiannya guru-gurunya bakal dilaksanakan pada peringkat awal tahun 2023.
Datuk Speaker, Dewan yang mulia, saya tekankan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor di bawah portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor merupakan antara agensi yang bertindak dengan baik bagi memakmurkan, membantu kemakmuran negeri Johor Darul Ta’zim. Misalnya Majlis Agama Islam Negeri Johor, MAIJ Urus Sdn. Bhd. syarikat di bawah naungan Jabatan Agama Islam Negeri Johor diwujudkan pada tahun 2008 yang berperanan memberi rawatan dialisis kepada pesakit-pesakit buah pinggang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sentuh dalam tempoh 5 minit ini petunjuk prestasi utama yang telah diberikan tanggungjawabnya di bawah saya. Di bawah Teras Kemudahan dan Keperluan Asas seperti yang telah diumumkan oleh Datuk Menteri Besar dalam Bajet 2023, insya-Allah secara berperingkat mulai tahun hadapan 160 buah masjid dan surau akan mula dipasangkan internet secara percuma. Kita juga akan memula pemasangan di sekolah-sekolah agama yang sedang melaksanakan Program JPID Albayen, Johor Pendidikan Islam Digital ke arah pendidikan alaf ke-21. Ini semua adalah buah tangan, cenderahati terbaru kerajaan negeri Johor kepada semua rakyatnya terutama yang berada di kampung juga kepada pendidikan Islam kita. Insya-Allah, selepas ini, saya menyeru
kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat galakkan lebih ramai orang muda kita datang mengimarahkan masjid dan surau kita, sebab selepas daripada ini, masjid dan surau mesti menjadi pusat kegiatan aktiviti masyarakat dan mereka tidak perlu lagi ke kafeteria ataupun ke mana-mana kelab komputer. Masjid dan surau mesti ambil peranan untuk menarik dan meramaikan orang muda ke dalam masjid dan surau kita. Ini antara idea yang kecil Datuk Speaker, tapi besar kesan dan manfaatnya. Insya-Allah.
Di bawah Teras Orang Muda Johor, saya, kita menyasarkan untuk seramai 50 Orang Muda khatam Al-Quran pada tahun ini. Insya-Allah pada tahun 2023 melalui Majlis Orang Muda Khatam Al-Quran di seluruh sekolah agama kerajaan Johor dan juga Kolej Islam MARSAH, program ini akan dilaksanakan, Insya-Allah. Berita baik juga mesti disampaikan kepada seluruh orang kampung kita, bahawa kerajaan Johor telah bersetuju melalui Bajet negeri Johor untuk menaikkan elaun guru-guru Al-Quran sama ada guru-guru Al-Quran Khas mahu pun guru-guru Al-Quran Am. Kena berterima kasih kepada kerajaan ini kerana kita prihatin menyelami keperluan penggerak-penggerak masjid dan surau. Insya-Allah, elaun bagi penggerak masjid dan surau juga akan mula dinaikkan pada kali ini.
Datuk Speaker, Dewan yang mulia, kita bermula dengan perlahan dan sedikit-sedikit, insya-Allah lama-lama jadi bukit. Semuanya bagi maksud Johor yang makmur. Seterusnya saya berkongsikan Huffaz Bangsa Johor. Huffaz Bangsa Johor akan menarik perhatian 1,200 huffaz pada tahun 2023 ini. 200 huffaz akan dibiayai dengan peruntukan Majlis Agama Islam negeri Johor berjumlah RM1.3 juta. Program ini merupakan program Diploma yang ditawarkan di MARSAH melibatkan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dan Diploma Pendidikan Tahfiz. Manakala jumlah Huffaz Bangsa Johor yang lain akan dibantu melalui program kerjasama MARSAH dengan IPTA dan IPTS, Program Intervensi Tahfiz.
Datuk Speaker, Dewan yang mulia, pada tahun 2023, menjadi pertimbangan dan penekanan kerajaan negeri untuk memastikan anak-anak tahfiz kita bukan hanya dapat menghafaz Al-Quran tapi dibekalkan dengan pendidikan akademik SPM dan juga kemahiran. Maka bagi tujuan ini, kita menyasarkan 450 orang pelajar tahfiz menduduki SPM pada tahun hadapan. 370 orang pelajar akan dibantu dengan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan madrasah tahfiz swasta yang melibatkan seluruh daerah dalam negeri Johor. Manakala kerajaan negeri melalui Perbadanan Islam Johor memperuntukkan RM25,000.00 kepada setiap satu sekolah iaitu Sekolah Menengah Bekok, Sekolah Menengah Segamat, Sekolah Menengah Kebangsaan Benut, Sekolah Menengah Simpang Renggam yang melibatkan 80 orang pelajar yang akan mengambil SPM pada tahun hadapan.
Bermakna Datuk Speaker, Johor menitikberatkan pendidikan anak tahfiz bukan hanya mengejar akhirat tetapi mesti juga menggapai dunia, Insya-Allah. Datuk Speaker, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas keprihatinan beliau dalam memperkasakan syiar Islam. Ingin saya kongsikan bahawa Insya-Allah dengan kenaikan yang bakal kita umumkan dan kita luluskan penggerak-penggerak juga penjawat-penjawat dalam portfolio Hal Ehwal Agama Islam khususnya dan juga masyarakat amnya akan mendapat manfaat.
Penutupnya Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya simpulkan di sini bahawa kepimpinan
Makmur Bersama Rakyat. Mudah-mudahan kita berikan kerjasama yang paling baik bagi merealisasikan tanggungjawab ini. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan saya, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Yang Berhormat ADUN Seri Medan atas pemergian anakanda beliau, Allahyarham Abid Iskandar pada 4 Disember yang lalu. Semoga Yang Berhormat Seri Medan tabah dan sabar dalam mendepani ujian ini.
Datuk Speaker, saya mohon, ya juga takziah kepada YB Vidya atas pemergian ibu mertuanya. Bapa mertuanya pada tempoh hari yang lalu. Datuk Speaker saya mohon menggulung dan menyokong Belanjawan ini. Terima kasih.
Terima kasih YB Semerah. Dijemput YB Johor Lama, oh, Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Dari Johor Lama saya bertandang, demi kemakmuran saling bergandingan, di Dewan yang mulia kita bersidang, giliran saya mulakan penggulungan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita bersama-sama hadir dalam Mesyuarat Keempat Belanjawan 2023 Bagi Penggal Persidangan Pertama Belanjawan Tahun 2023 Dewan Negeri Johor ke-15 pada pagi yang mulia ini. Di kesempatan ini juga ingin saya melafazkan salam takziah kepada Yang Berhormat Seri Medan di atas pemergian anak kandung beliau, Abid Iskandar bin Dato’ Zulkarnain. Allahyarham sempat berkhidmat selama sebulan di pejabat saya merangkap Ahli Dewan Muda Johor, orangnya ceria dan rajin membantu. Semoga Allah berikan ketabahan buat Yang Berhormat Datuk sekeluarga dan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sebelum meneruskan ucapan penggulungan ini, izinkan saya untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat di raja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya. Patik menjunjung kasih di atas segala nasihat dan bimbingan yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku demi memastikan pendidikan negeri Johor khususnya terus di perkasa dengan memacu agenda Maju Johor 2030.
Patik juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Kejayaan JDT menjadi pasukan pertama yang menjulang 4 piala dalam satu musim iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Juara Liga Super dan terbaru Piala Malaysia sememangnya merupakan satu lakaran sejarah luar biasa dan gemilang yang cukup membanggakan. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas pemasyhuran sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, juga kepada baginda Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Alhaj Ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTHM yang baru bersempena istiadat konvokesyen UTHM Ke-22 pada 3 Disember 2022 yang lalu.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani yang turut dimasyhurkan sebagai Pro Canselor UTHM yang baru. Tahniah Yang Berhormat Tan Sri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan sekalian.
Yang Berhormat, jangan lupa birthday YB Mahkota.
YB Mahkota, selamat hari jadi.
Ya, dia calon pun dah ada dah tu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Lanskap suasana politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 kini banyak berubah. Namun apa pun rakyat sudah memilih, raja-raja sudah memilih, Allah jua Maha Mengetahui segalanya yang terbaik buat hambanya. Berlapang dadalah kita semua dan sama-sama mendoakan yang terbaik untuk Malaysia yang dicintai. Patik turut Menjunjung Setinggi-tinggi Kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al Sultan Abdullah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah berserta Majlis Raja-Raja yang telah dengan hemah dan bijaksana menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum Yang Ke-15. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Fadzilah Jusoh yang telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Yang Kedua.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pertama-tamanya saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada setiap orang Ahli Dewan yang telah memberikan pandangan yang membina, cadangan dan teguran kepada pihak kerajaan terutamanya beberapa isu di bawah portfolio saya yang meliputi Pendidikan, Penerangan Dan Komunikasi Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat pada sesi persidangan kali ini, ramai dalam kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat membangkitkan isu berkaitan masalah capaian internet dan telekomunikasi di kawasan masing-masing. Ini termasuklah YB Kukup, YB Bekok, YB Skudai, YB Endau, YB Sungai Balang, YB Bukit Kepong, YB Pasir Raja, YB Sedili, YB Penawar dan YB Pekan Nanas.
Saya cerakinkan masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat kepada 3 bahagian utama. Yang pertama, masalah internet di kawasan kampung Orang Asli. Yang kedua masalah di kawasan kampung dan FELDA. Dan yang ketiga kemudahan Internet di sekolah-sekolah. Saya ingin kongsikan dalam Dewan yang mulia ini berkaitan status capaian internet bagi kawasan perkampungan Orang Asli di negeri Johor. Isu ini telah dibangkitkan oleh YB Bekok, YB Skudai dan YB Endau. Pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan liputan telekomunikasi dan internet di kawasan perkampungan orang Asli.
Perancangan Jaringan Digital Negara (JENDELA) turut mengambil kira pembangunan di kawasan Orang Asli berdasarkan rekod oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Terdapat 59 buah kampung Orang Asli di Johor. Melalui JENDELA fasa 1, terdapat sebanyak 13 buah menara sedang dalam pelaksanaan yang bakal memberi manfaat kepada seramai 4,078 penduduk di 14 buah kampung Orang Asli. Antaranya KOA Peta di Mersing, KOA Seri Tembayan, KOA Kudong dan KOA Kemidak di Segamat.
Selain itu, pihak kerajaan melalui MCMC juga telah siap membangunkan 16 buah menara telekomunikasi sebelum ini di bawah program pembangunan infrastruktur luar bandar yang memberi liputan kepada 13 kampung Orang Asli sudah mempunyai liputan daripada menara telekomunikasi yang dibangunkan oleh pihak penyedia perkhidmatan secara komersial manakala baki 16 buah kampung Orang Asli masih belum mempunyai peruntukan untuk pembinaan menara telekomunikasi.
Bagi isu capaian internet yang dibangkitkan oleh YB Bukit Kepong adalah dimaklumkan bahawa di bawah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1, sebuah menara telekomunikasi telah pun dibina di Kampung Paya Redan, Pagoh dan sebanyak 10 stesen pemancar di sekitar Pagoh, 4 kilometer radius dari Maybank Pagoh telah dinaik taraf kepada teknologi 4G bagi menambah baik kualiti liputan di Pagoh.
Bagi meningkatkan mutu liputan di Sungai Balang, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah pun mempunyai perancangan untuk membina sebanyak 2 buah menara telekomunikasi di Kampung Sungai Balang Darat dan Kampung Sungai Balang Kechil Darat di bawah peruntukan JENDELA fasa yang akan datang. Inisiatif JENDELA fasa 1 bagi DUN Pasir Raja merangkumi perancangan pembinaan 4 buah menara pemancar 4G baru, penaiktarafan 56 stesen pemancar kepada teknologi 4G serta penyediaan sambungan gentian optik kepada 5,526 premis yang dijangka akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku ke empat bagi tahun 2023.
Lokasi pembinaan 4 menara baru adalah di Kampung Tai Hong, Kampung Sungai Telor, FELDA Bukit Ramun dan Desa Mahkota, Kampung Rantau Panjang. Seterusnya, bagi kemudahan internet di sekolah-sekolah pula ke semua 1,192 buah sekolah di negeri Johor dibekalkan talian Internet yang terdiri daripada Unifi, Celcom dan Maxis, selain tiada had kuota dan internet. Bagi kuota data Internet, bagi Celcom dan Maxis, 3 modem dibekalkan ke sekolah yang mempunyai jumlah murid lebih 150 orang, manakala murid di bawah 150 orang akan dibekalkan satu modem.
Dalam masa yang sama bagi meningkatkan mutu perkhidmatan jalur lebar di kawasan sekolah terutamanya di kawasan luar bandar, pihak kerajaan melalui kawasan komunikasi dan digital telah pun melaksanakan program Point Of Presence atau singkatannya (POP) bertujuan menyediakan sambungan talian jalur lebar berkelajuan tinggi, gentian optik di 4,323 buah sekolah di seluruh Malaysia. POP ini dilaksanakan melalui 2 fasa di mana fasa 1 yang sedang dalam pelaksanaan melibatkan 50 buah sekolah di Johor, manakala fasa 2 yang dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan 568 sekolah di negeri Johor.
Usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan yang dijalankan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Bagi kawasan yang masih mengalami capaian internet dan telekomunikasi yang lemah seperti yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan, antara tindakan yang akan diambil oleh pihak MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi berkaitan adalah dengan melakukan ujian pengukuran liputan bagi usaha mengurangkan kawasan blind sport dengan izin. Ujian ini adalah merujuk kepada kualiti perkhidmatan bagi mengenal pasti punca dan seterusnya mencadangkan penyelesaian yang boleh diambil tindakan yang segera.
Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan akan mengadakan platform bagi membincangkan agenda telekomunikasi negeri Johor secara berkala di dalam Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Johor. Justeru, adalah amat besar harapan saya agar isu berkaitan capaian internet dapat ditangani dengan sebaik-baiknya. Patah sayap bertongkat paruh, saya akan memastikan dengan sedaya upaya saya dibantu oleh pihak MCMC dan pemegang-pemegang taruh untuk menangani permasalahan ini secepat yang mungkin, insya-Allah sama-sama kita semua doakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Tangkak dan Yang Berhormat Bentayan yang telah memberikan cadangan untuk meluaskan fungsi Johor Pay serta mengintegrasikan JohorPay sebagai tempat pembayaran bersepadu. Cadangan ini sememangnya telah menjadi matlamat kerajaan melalui ICT Johor di mana JohorPay akan dijadikan platform bersepadu kerajaan negeri Johor. Dan terimaan bayaran agensi akan dilaksanakan secara berperingkat bagi tempoh 5 tahun akan datang dengan hala tuju untuk memusatkan semua pembayaran berkaitan agensi kerajaan negeri, Pihak
Berkuasa Tempatan, badan berkanun dan juga perkhidmatan kerajaan seperti bayaran balik pinjaman pelajaran Yayasan Pelajaran Johor dan PTPTN ke dalam JohorPay.
Selain daripada itu, kita juga merancang akan perluaskan lagi pembayaran utiliti seperti bayaran bil telefon, bil elektrik dan bayaran bil air serta dapat bekerjasama dengan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) di masa-masa akan datang dan membolehkan dimaksimumkan fungsi dan peranannya sebagai platform pembayaran yang akan membantu usahawan-usahawan di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Parit Yaani telah memberikan agar Media Digital Johor (MDJ) diberikan tugas yang lebih mencabar dalam berperanan untuk menangani isu maklumat tidak sahih. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak MDJ akan mengadakan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Jabatan Perlindungan Data Peribadi serta Polis Diraja Malaysia bagi tujuan mengesan dan mengenal pasti pihak-pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab dalam menyebar luas maklumat palsu dan tidak benar bagi tujuan proses perundangan.
Beberapa sesi perbincangan akan diadakan bersama pemegang-pemegang taruh berkaitan bagi mencapai satu bentuk kerjasama yang dapat diguna pakai bagi tujuan membendung bukan sahaja berita palsu, malah juga dari segi perundangan yang boleh dikuatkuasakan kepada pesalah-pesalah siber ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Bekok, YB Tenang, YB Bukit Naning dan YB Sedili dalam perbahasan telah memberikan cadangan mengenai pembinaan IPTA/IPTS dalam kawasan di DUN dan Parlimen.
Kerajaan negeri melalui BPEN dan jabatan berkaitan mengambil perhatian akan hasrat Yang Berhormat sekalian mengenai perkara ini. Kerajaan berpandangan bahawa sebarang cadangan penubuhan institusi pendidikan tinggi baru terutamanya institusi awam perlu diteliti dari segi keperluan sebenar guna tenaga negara dan sama ada 20 buah universiti awam dan 417 institusi pengajian tinggi swasta sedia ada tidak dapat menampung kelompok pelajar berkaitan.
Untuk makluman YB, dalam ekosistem pendidikan tinggi awam sedia ada di negeri Johor terdapat 7 buah kampus universiti awam yang telah beroperasi iaitu UTM, UTHM dan 5 buah kampus cawangan universiti awam serta 27 buah institusi swasta bertaraf kolej sehingga universiti beroperasi di negeri Johor. Sekiranya sebuah institusi pendidikan tinggi baru ini ditubuhkan di Sedili ataupun di Bekok khususnya, satu kajian feasibility yang komprehensif perlu dilaksanakan dengan lebih terperinci bagi memastikan pelaburan yang dilaksanakan kerajaan dapat memberi manfaat kepada negara kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bukit Naning juga ada membangkitkan isu mengenai padang sekolah dalam DUN Bukit Naning yang berada dalam keadaan daif. Untuk makluman Yang Berhormat, menurut rekod JPN Johor menunjukkan data setakat 6.12.2022 tiada aduan mengenai status padang sekolah dalam DUN Bukit Naning. 8 buah sekolah, 2 sekolah menengah, 4 sekolah kebangsaan dan 2 sekolah Jenis Kebangsaan Cina berstatus daif yang dilaporkan oleh pihak sekolah.
Pengurusan padang sekolah ianya termasuk dalam penyelenggaraan kontraktor pembersihan sekolah swasta yang dilantik bagi memastikan rumput padang dalam keadaan pendek dan terurus serta selamat untuk digunakan oleh murid-murid sekolah. Kelengkapan asas sentiasa dikemas kini mengikut keperluan murid berdasarkan anggaran belanja mengurus penggunaan padang oleh masyarakat setempat adalah tertakluk kepada garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh KPM. Walau bagaimanapun, penambahbaikan segala keperluan untuk menaik taraf padang sentiasa dalam perhatian bagi meningkatkan kecemerlangan murid dalam aktiviti sukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Puteri Wangsa ada mencadangkan kerajaan supaya menyediakan Skim Insurans Pendidikan kepada pelajar OKU. Sebagai makluman, berdasarkan semakan JPN Johor setakat ini mendapati semua murid telah menerima Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM). Skim ini merupakan Skim Takaful Perlindungan di bawah Takaful Malaysia bagi murid-murid sekolah di seluruh Malaysia di bawah KPM. TPSM memberikan perlindungan kepada murid-murid 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pasir Raja juga mencadangkan pembinaan trek olahraga di padang SMK Tun Habab. Jabatan Pendidikan Negeri Johor komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di sekolah negeri Johor ini. Bagi tujuan ini Yang Berhormat, JPN Johor akan melaksanakan analisis keperluan secara terperinci dengan mengambil kira bilangan dan kapasiti infrastruktur kemudahan sukan sekolah sedia ada serta perancangan pembangunan berdasarkan perbincangan bersama-sama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Pihak Berkuasa Tempatan bagi sesebuah kawasan.
Pada masa kini, keperluan utama dan kritikal JPN Johor semasa mengemukakan cadangan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia ialah pembinaan sekolah baru bagi sekolah yang padat, sekolah daif, menaik taraf atau menyelenggara sekolah sedia ada untuk memastikan murid di negeri Johor ini dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat dan selesa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Gambir juga telah membangkitkan isu mengenai murid-murid tercicir. Untuk makluman melalui Belanjawan Johor 2023 Teras 6 Strategi 3, Pendidikan Anak Muda Inisiatif 2 Pembangunan Murid sebanyak RM450,000.00 diperuntukkan bagi program Johor Next Generation yang bertujuan memberi peluang kedua mendapatkan sijil SPM dan peluang pekerjaan melalui program latihan yang akan diberikan. Selain daripada itu, tindakan alternatif bagi murid yang tercicir ini pula ialah dengan mendaftarkan mereka di GiatMARA. Untuk makluman semua, GiatMARA tidak meletakkan syarat lulus SPM untuk kemasukan program mereka. Pelajar juga boleh memohon kursus kemahiran di Pusat Latihan Kemahiran yang tidak memerlukan SPM sebagai syarat seperti Skill College Of Industrial Technologies Muar minimum 16 tahun, Akademi Minyak dan Gas Johor minimum UPSR dan PLP Skill Institut Melaka minimum PT3.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, YB Tanjung Surat pula bertanyakan tentang mekanisme pelaksanaan Program Young Dronengineers yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Sebagai makluman, Program Young Droneengineers dan Youngsters Coding Program merupakan antara langkah kerajaan negeri bagi memupuk minat pelajar dalam menceburi bidang berkaitan IR4.0. Dari sudut komuniti belia luar bandar pula, mereka turut berpeluang untuk menceburi bidang yang sama melalui program-program yang dianjurkan oleh pihak MDEC yang diadakan secara berkala dan secara percuma. Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Berhormat sekalian, akhir kalam saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana memberikan keizinan dan peluang Timbalan Datuk Speaker, kepada saya untuk menggulung perbahasan pada pagi ini, khususnya bagi portfolio saya Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan Komunikasi Negeri Johor. Terima kasih Ahli-Ahli Dewan, segala teguran saya ambil cakna, saya terima segala pandangan, demi Johor sentiasa juara. Terima kasih juga Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dan tahniah di atas pembentangan Belanjawan 2023 ini. Dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas keprihatinan anda, khususnya bagi portfolio saya. Terima kasih kepada semua jabatan dan agensi di bawah portfolio saya, serta rakan-rakan media juga. Saya akan memberi sepenuh perhatian terhadap semua teguran, cadangan dan komen serta akan berusaha melaksanakan setiap cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan di Dewan yang mulia ini, insya-Allah. Kerajaan perpaduan sudah dibentuk, demi negara berpaksikan kestabilan saya pulangkan semula sidang ini kepada Timbalan Datuk Speaker, silap dan salah harap dimaafkan.
Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah SWT dan yang buruk itu dari kelemahan dan kekhilafan saya sendiri. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam maju Johor. (Baca doa).
Terlebih dahulu patik ingin menjunjung kasih dan menzahirkan ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada 22 November yang lalu. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor, serta seluruh kerabat Johor dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT jua. Patik juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, di atas kejayaan pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Kejayaan JDT menjadi pasukan pertama menjulang 4 piala dalam satu musim, Piala Sumbangsih, Piala FA, Juara Liga Super dan terbaru Piala Malaysia, sangat membanggakan sekalian rakyat Johor Darul Ta’zim. Semoga kejayaan ini akan berterusan dan dapat melakar sejarah baru di masa yang akan datang.
Di kesempatan ini juga, saya, patik merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia, Major Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang telah dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baru, serta ucapan tahniah kepada Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sulatan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor, di atas lantikan sebagai Pro Canselor UTHM yang baru sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi serta Yang Amat Berhormat Datuk Seri Fadillah Yusof, juga Timbalan Perdana Menteri yang kedua serta seluruh barisan kabinet kerajaan Malaysia. Buah lada dimakan itik, tajam pisau jangan dialih, kerajaan dah ada, Menteri dah dilantik, Apa nak risau rakyat dah pilih.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terlebih syukur alhamdulillah berkat kesungguhan pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi telah berjaya menjadikan satu belanjawan yang amat prihatin terhadap setiap golongan khasnya mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan. Manakala setiap pelosok dan kawasan dalam negeri Johor tidak terkecuali diberikan perhatian. Berdasarkan Belanjawan 2023, iaitu “Maju Johor Makmur Bersama Rakyat”, yang ditunjangi 6 Teras ini, saya berpendapat belanjawan ini sememangnya inklusif, lestari, komprehensif dan sejahtera untuk rakyat Johor. Indah lagu nyanyian teruna, orang kaya belikan makanan, masa ditunggu telah pun tiba, izinkan saya membuat penggulungan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bagi menyahut Belanjawan Negeri 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, di bawah portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada saya iaitu Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor meliputi teras keempat iaitu kemudahan dan keperluan asas melalui 3 strategi dan 6 inisiatif. Bagi menyahut strategi yang pertama iaitu penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur awam, antara inisiatif yang akan dilaksanakan
ialah pertama, membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan jalan dan jambatan. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, sebanyak RM87.6 juta telah diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf jalan negeri, jalan kampung dan jambatan di seluruh negeri Johor. Antaranya termasuklah menaik taraf jalan dan jambatan Sg. Mati ke Sawah Ring di Tangkak, dan membina jalan pintas dari Jorak ke Paya Panjang di daerah Muar.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli Dewan, ada projek yang berada dalam peringkat pembinaan, ada projek yang dalam peringkat perancangan dan ada juga projek yang akan dimulakan pada tahun hadapan. Bagi projek-projek yang dalam pra pembinaan, yang mana kita di bawah portfolio saya, kita meneruskan projek-projek yang baik untuk rakyat. Antaranya ialah, cadangan menyiapkan jambatan konkrit menggantikan jambatan besi sedia ada di jalan Gelang Patah – Pendas, Johor. Selain itu, ada juga projek yang dalam pembinaan iaitu pembinaan jalan alternatif dari Jalan Merta ke Jalan Sekakap, Mersing, Johor serta menyiapkan baki kerja bagi pembinaan jalan baru Kg. Rahmat, di Batu Pahat. Datuk Timbalan Speaker, untuk projek-projek baru, antaranya ialah pembinaan jalan baru dari Jalan Balau ke Sedili Kecil di Kota Tinggi. Di daerah Batu Pahat, pembinaan persimpangan Jalan Tongkang Pechah ke Jalan Bindu serta membina jambatan jenis culvert di Jalan Tongkang Pechah, ini di bawah kawasan DUN Parit Yaani. Seterusnya, antara lagi kerja-kerja yang akan dibuat bermula pada tahun hadapan ialah menaik aras jalan serta pembaikan sistem perparitan dan menggantikan pembetung di Jalan Perani laluan Kota Tinggi di bawah DUN Sedili.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada sesi perbahasan Yang Berhormat Tangkak ada membangkitkan berkenaan projek menaik taraf jalan dan jambatan Sg. Mati ke Sawah Ring, yang difahamkan projek pernah di umum oleh kerajaan negeri pada tahun 2019 ketika pembentangan Belanjawan 2020. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, projek menaik taraf jalan dan jambatan Sg. Mati ke Sawah Ring ini bukannya projek baru. Ianya adalah projek di bawah status perancangan yang merupakan kesinambungan perlaksanaan projek ini. Dana peruntukan bagi projek ini telah digunakan untuk membayar kerja-kerja awalan iaitu perunding dan juga juru ukur. Projek ini telah dimulakan dengan proses reka bentuk melalui pelantikan perunding pada tahun 2019, pelaksanaan fizikal projek ini ditangguhkan berikutan komitmen peruntukan pembangunan dan pembinaan yang lebih mendesak dan perlu diselesaikan dahulu.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri menerima sebanyak RM691.5 juta peruntukan MARRIS untuk naik taraf maintenance, selenggaraan jalan-jalan di seluruh negeri Johor. Ada juga jalan-jalan yang diselenggarakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga. Namun begitu, bagi tahun 2022 sukacita saya nak kongsikan, peruntukan RM150 juta MARRIS di bawah JKR, 35% daripadanya ialah untuk kerja-kerja pavement, 23% bukan pavement dan kerja-kerja rutin 42%. Untuk makluman Yang Berhormat, Ahli-Ahli Dewan, RM691.45 juta peruntukan MARRIS ini besar. Namun begitu bukan semuanya digunakan untuk membaiki jalan. Ianya juga digunakan untuk membaiki sebagai contoh, potong rumput di tepi jalan, betulkan signboard, papan tanda dan sebagainya. Oleh itu hala tuju, portfolio saya untuk tahun hadapan kita akan meningkatkan filing untuk pembaikan kerja jalan, longkang dan juga road line ditingkatkan ke 70%. Oleh itu, kita nak pastikan semua jalan-jalan raya kita baiki dulu, dan kebanyakan jalan raya yang ada di negeri Johor antara faktor utama kerosakannya ialah sistem perparitan. Bila sistem perparitan tak cukup baik, maka struktur tanah itu tak cukup baik, jadi jalan itu tak dapat bertahan dengan lebih lama. Banyak aduan yang saya terima berkaitan dengan road line, oleh itu pada tahun hadapan kita akan adakan satu task force khusus untuk memastikan road line, garisan jalan, ini dapat disiapkan di banyak tempat khususnya di kawasan-kawasan selekoh-selekoh tajam dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga banyak menerima aduan berkaitan dengan kualiti kerja. Contohnya, kualiti tampalan jalan. Saya faham dan saya sendiri telah turun padang melihat, memang ada asas, apa tu, asas complaint ini berlaku. Oleh itu, pihak
saya dan pihak kerajaan negeri telah melantik JCCD, Johor Centre Construction Development untuk bertanggungjawab memantau kualiti kerja kontraktor dan prestasi kerja kontraktor. JCCD memperuntukkan RM220,000.00 bagi membangunkan sistem kontraktor yang terdiri daripada sistem pangkalan data, pemantauan infrastruktur negeri Johor dan sistem aduan bersepadu. Banyak juga yang kita terima aduan daripada pihak kontraktor kecil sama ada Bumiputera khususnya daripada kontraktor Bumiputera, apabila pihak konsesi lambat membayar kepada pihak kontraktor, oleh itu JCCD juga dilantik sebagai pengantara untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Untuk makluman Dewan, pembayaran pihak JKR kepada pihak konsesi ialah 14 hari bekerja. Dan setakat sampai ke tempoh hari ini, kita tak pernah lewat membayar dalam masa tempoh 14 hari. Namun begitu kita faham, ada kontraktor yang mendapat bayaran lebih lambat daripada 14 hari, ada yang mengadu 6 bulan dan sebagainya. Oleh itu, saya telah meminta pihak JCCD mencari mekanisme, bagaimana kita nak pantau pembayaran antara pihak kontraktor dan juga pihak konsesi. Untuk makluman pihak kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa, antara perjanjian pihak konsesi dan juga pihak kontraktor, namun kita boleh jadi pengantara untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Isu ini antaranya telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kemelah.
Inisiatif kedua menaik taraf kemudahan lampu jalan. Bila sebut lampu jalan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita maksudkan ialah lampu jalan sekali dengan lampu amber, lampu isyarat dan lampu di persimpangan. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk kita menggunakan teknologi hijau dalam pemasangan lampu-lampu jalan. Kalau saya boleh kongsikan dalam Dewan yang mulia ini, rakyat sebenarnya dia bukan nak lampu, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dia nak jalan tu terang. Jadi ada banyak kaedah kita nak terangkan jalan, bukan setakat kita guna lampu, lampu pun kita ada banyak kaedah boleh jadi lampu yang kita gunakan sistem lama, iaitu menggunakan kabel elektrik, ada juga lampu yang menggunakan sistem solar, dan boleh jadi ada sesetengah kawasan yang terlalu gelap Datuk Timbalan Speaker, kita cukup gunakan reflector, reflector lampu jalan itu, kalau kita lalu lampu kita akan dipantul semula ke jalan. Oleh itu, pihak saya, pihak JKR telah melakukan libat urus dengan pihak-pihak berkaitan antaranya TNB untuk kita guna sama tiang-tiang TNB di tepi jalan ini, mungkin kita boleh gunakan tiang-tiang TNB ni untuk kita tumpang lampu LED ataupun lampu solar supaya dapat jimatkan kos kepada kerajaan negeri. Daripada kita bina baru, kita kalau boleh kita dapatkan satu konsensus dengan pihak TNB untuk gunakan lampu-lampu ini. Kita tumpang lampu di atas tiang-tiang TNB. Selain itu seperti yang saya sebutkan tadi ni, pasal reflextor ni, pemantul cahaya. Mungkin tiang-tiang TNB ataupun boleh digunakan sebagai tempat pemantul cahaya.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, kalau perasan di tiang TNB tu dia ada tulis nombor 15454 pada asalnya simbol tu pemantul cahaya. Tapi mungkin sebab dah lama, jadi dia tak dapat lagi memantulkan cahaya. Jadi, oleh itu pihak JKR dan juga pihak TNB sedang dalam usaha mendapatkan persetujuan bersama untuk kita pastikan RM3.5 juta yang kerajaan negeri peruntukkan ini, dapat kita terangkan lebih banyak tempat di seluruh negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya pergi kepada Strategi Kedua iaitu Pengangkutan Awam Johor. Dalam Inisiatif Pertama iaitu Melancarkan Pergerakan Laluan Sempadan antara Johor Bahru ke Singapura melalui sempadan Tambak Johor. Antara yang telah dilakukan oleh pihak JKR ialah menggabungkan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, PLUS dan juga JPJ. Jadi 3 jabatan ini hanya perlu berhenti sekali untuk apa tu, kereta-kereta yang berdaftar nombor plat Singapore masuk ke Malaysia. Sebelum ini kita akan berhenti sebanyak 3 kali, untuk Imigresen, satu; untuk JPJ road charge, satu dan juga tol PLUS, satu. Kali ini dengan adanya projek ini, yang mana saya difahamkan kita dah siap satu zon di Bangunan Sultan Iskandar itu, supaya kelancaran itu lebih lancar untuk kenderaan masuk ke dalam Malaysia. Antara yang kita juga telah berhubung rapat dengan
pihak KDN di BSI ialah cadangan reka bentuk semula laluan motosikal m-bike, laluan kereta, laluan lori pada penggunaan hujung minggu.
Untuk makluman Datuk Timbalan Speaker, sebagai contoh pada hujung minggu lori tak banyak lalu di Tambak Johor. Jadi, laluan lori ini kosong tapi kereta banyak. Jadi, ini yang kita cuba nak aplikasikan supaya lorong-lorong lori ini dapat digunakan juga oleh kereta-kereta untuk sebagai tambah lorong daripada lorong yang sedia ada. Sekarang dalam peringkat reka bentuk dan insya-Allah, perbincangan lanjut kepada pihak KDN sebagai pemilik bangunan. Selain itu, pihak Imigresen juga telah menambah bilangan e-gate untuk pejalan kaki, untuk warganegara Malaysia daripada 14 kepada 32 unit dan untuk laluan masuk, 14 ke 26 unit bagi laluan keluar. Jadi 14 kepada 32 untuk masuk, 14 kepada 26 untuk laluan keluar. Kali ini sistem ini lebih efisien Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dia detect muka berbanding dengan thumb print tangan dan saya mendapat respons yang baik daripada pihak pengguna khususnya di Facebook dan media sosial yang lain, sistem ini lebih pantas. Dan, pihak Imigresen ada hasrat untuk memastikan pelancong ataupun warga asing juga boleh menggunakan e-gate ini.
Selain itu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai langkah tambahan kawalan trafik sempadan Johor Bahru – Singapura pun kita adakan satu mesyuarat khas untuk memastikan APAD, PAJ dan Polis Trafik dapat bantu untuk kenderaan masuk, sama ada masuk melalui JB Central dan sebagainya. Dan, untuk jangka masa panjang Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan adanya RTS, Rapid Transit System, kereta api laju antara Johor Bahru ke Singapura, kita dapat mengurangkan insya-Allah 35% kesesakan di Tambak Johor dan tempoh perjalanan juga dapat dipendekkan kepada 15 minit berbanding 30 minit hingga 1 jam pada ketika ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya pergi kepada Inisiatif Kedua iaitu Penambahbaikan Perkhidmatan Bas Muafakat Johor. Keseluruhan kos bas Muafakat Johor ialah RM28.7 juta setahun manakala, yang mana RM10.7 juta itu datangnya daripada peruntukan kerajaan negeri dan RM18 juta datangnya dari Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, setakat November tahun 2022 sebanyak RM11.3 juta kegunaan telah direkodkan dengan angka tepatnya RM11,350,371.00. Bila sebut penggunaan, boleh jadi pengguna yang berulang. Oleh itu saya dan pihak PAJ melihat semula apa kaedah terbaik supaya rakyat boleh menggunakan bas Muafakat Johor ini. Mengikut rekod ada 3 laluan yang paling ramai pengguna iaitu di P101, P102 dan P103 disebabkan kepadatan. Di Larkin, laluan Larkin Central - MBJB - Saujana, MBJB - JB Central – Stulang - PPR Stulang, Larkin Central ke Bakar Batu ke Sri Stulang. Ini 3 laluan yang paling ramai penggunaannya, syukur Alhamdulillah. Laluan yang paling sikit pula Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker ialah laluan Terminal Tiram - Kampung Sungai Tiram dan Terminal Kota Masai ke Cahaya Baru ke Terminal Kota Masai dan laluan Bayu Damai ke Sungai Rengit. 3 laluan ini hanya tertumpu kepada pelajar sekolah sahaja. Pihak PAJ akan mengubah laluan dan mengkaji semula kesesuaian laluan-laluan ini. Bagi laluan PE003 iaitu Bayu Damai ke Sungai Rengit, laluan ini akan dibuka kepada pelancong memandangkan ianya melalui kawasan Terminal Feri Desaru Coast.
Kategori pengguna BMJ, Bas Muafakat Johor paling ramai merupakan pelajar iaitu terdiri daripada kalangan pelajar sekolah dan golongan penuntut IPT dan juga kolej. Golongan kedua paling ramai merupakan golongan-golongan yang bekerja di sektor swasta serta kumpulan suri rumah tidak bekerja. Suri rumah ni suka guna bas Muafakat ni Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Mungkin sebab luas boleh bawa anak sekali. Perkhidmatan bas muafakat Johor ini juga dipanjangkan ke pelancong asing.
Untuk tahun hadapan pihak PAJ akan menggunakan peruntukan sebanyak RM50,000.00 untuk mengkaji kebolehlaksanaan pelancong-pelancong asing menggunakan bas Muafakat Johor. Mungkin kita limit kan dua minggu dan sebagainya supaya ridership pengguna dapat
kita optimize kan penggunaan bas Muafakat Johor ini. Khususnya insya-Allah kajian ini untuk laluan Bandaraya Johor Bahru, Pengerang, Muar dan juga Pontian.
Bagi perkhidmatan Bas Muafakat Johor di kawasan pelancongan ianya memberi faedah kepada pelancong asing yang akan melawat kawasan seperti di Desaru Coast, Tanjung Piai, Bandar Maharani, Bandaraya Johor Bahru dan kawasan peranginan di Mersing. Ianya akan meningkatkan kepenggunaan Bas Muafakat Johor kepada 2% sehingga 5% mengikut liputan kawasan. Sebanyak 9 laluan baru akan dimulakan pada tahun depan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker melibatkan 12 buah bas. PAJ juga akan mengkaji insentif-insentif, kita nak galakan rakyat menggunakan Bas Muafakat ini, bas percuma atau pengangkutan awam, PAJ dalam kajian untuk memberikan insentif kepada pengguna-pengguna ataupun pengguna setialah kalau boleh kita sebutkan, supaya lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan Bas Muafakat Johor atau pengangkutan awam yang lain.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kalau saya boleh tambah, kerajaan negeri juga prihatin dengan keadaan parking terhad di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA). Oleh demikian, saya dan YB EXCO Kesihatan telah berbincang maka pihak PAJ bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan sebanyak RM550,000.00 bagi perkhidmatan shuttle bus secara percuma kepada pesakit, kakitangan dan juga pelawat kedua-dua buah hospital ini. Pengguna bas yang ingin ke HSA boleh menaiki bas dari Terminal Larkin. Manakala yang hendak ke HSI boleh menaiki bas dari Lotus Supermarket Tebrau.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita juga akan mengkaji kebolehupayaan bas-bas ini membawa pesakit-pesakit juga. Sebab kita nak galakkan orang guna bas, jadi bas ini mestilah mesra OKU, mesra pesakit dan sebagainya. Kita bagi tempoh 3 bulan sebagai trial run kepada pihak bas untuk kedua-dua hospital ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Inisiatif Ketiga ialah Penyuraian Trafik RTS Link. Apabila RTS nanti siap pada 2026 dan akan mula beroperasi pada 2027 dijangkakan sebanyak 150,000 orang sehari akan menggunakan perkhidmatan RTS ini. Jadi, kita perlukan satu penyuraian trafik untuk mengeluarkan pengguna-pengguna perkhidmatan awam ini keluar daripada Johor Bahru. Oleh itu, satu task force telah pun ditubuhkan. Task force, Jawatankuasa Task Force Projek Pengangkutan Awam Berimpak Tinggi Negeri Johor. Saya dan juga YB EXCO Pelaburan duduk sekali dalam task force ini, sebab kita nak galakkan juga pelabur masuk ke negara kita. Oleh itu ketiga-tiga projek berimpak tinggi ini antaranya ialah Rapid Transit System (RTS), landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru dan juga Iskandar Rapid Transit (IRT) dan dijangka siap mengikut jadual, insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, strategi ketiga ialah Infrastruktur Bekalan Air dan Elektrik. Banyak Yang Berhormat-Yang Berhormat membahaskan isu paip pecah dan sebagainya. Pagi tadi, saya pun telah menjawab bahawa terdapat 6,000km paip-paip lama yang sedang ditukar oleh pihak RSAJ, Ranhill SAJ. Oleh itu, ia memerlukan tempoh yang lama sebab setahun kita cuma mampu buat lebih kurang 234km sahaja Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Oleh itu, selain kita mengadakan pembaikan secara berkala ini, pembaikan berterusan untuk paip-paip lama, pihak RSAJ telah melakukan banyak kajian semula berkaitan SOP-SOP kalau saya boleh bacakan apabila ada berlaku kebocoran, SAJ, ada SAJ Info Centre untuk memastikan kontraktor sampai ke kawasan dalam masa satu jam, response time nya satu jam. Kemudian dikenal pasti dan seperti yang saya sebutkan pada pagi tadi, setiap rumah di Johor diminta untuk menyediakan tangki simpanan air untuk kegunaan 24 jam, bagi 200mm ke 600mm mungkin industri selama 36 jam dan untuk industri yang lebih besar 600mm, 48 jam. Sebaik, sepatutnya RSAJ melalui kontraktor dapat siapkan dalam tempoh-tempoh ini. Kalau tak dapat siap dalam tempoh-tempoh ini maka RSAJ perlu menghantar bekalan air melalui tanker-tanker dan juga tangki-tangki di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker...
Panjang lagi Yang Berhormat?
Macam tak panjang. RSAJ juga melakukan Program Rebat Air Negeri Johor untuk rakyat miskin dan miskin tegar. Pemberian rebat air sebanyak 23 meter padu per akaun kepada 3,500 akaun penerima yang telah tersenarai dalam sistem e-Kasih dan juga kumpulan Orang Asli di perkampungan Orang Asli. Ini merupakan satu inisiatif berterusan oleh pihak Ranhill SAJ.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan juga, setiap kali pembayaran bil kepada RSAJ, tiada komisen dikenakan sama ada melalui tunai ataupun tanpa tunai. Dan juga, Ranhill SAJ seperti tadi menyahut supaya setiap rumah ini ada tangki, jadi Ranhill SAJ juga membuat Program Sumbangan Tangki Simpanan Percuma. Penyediaan tangki simpanan air bersih untuk komponen domestik bagi mempertingkatkan sistem bekalan air bersih kepada pengguna yang berada di kawasan bertekanan rendah. Program Sumbangan Tangki Simpanan Air ini dilihat dapat membantu mengelakkan daripada berlakunya bekalan air terputus dengan adanya simpanan air di rumah terutama di kawasan bertekanan rendah yang telah dikenal pasti.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya pergi kepada Jaminan Bekalan Elektrik yang stabil. Ini yang terakhir Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. TNB menyediakan rebat untuk domestik sebanyak 1%. Sekiranya gangguan berlaku selama 3 jam, selepas 3 jam. Untuk domestik 1% atau minimum RM10.00, untuk komersial 1% atau maksimum RM300.00 dan untuk industri 0.5% maksimum RM1,000.00.
90% daripada rangkaian jaringan bekalan elektrik di negeri Johor telah mempunyai sistem suar balik maksudnya, kalau breakdown di suatu tempat TNB boleh hidupkan secara online di kawasan itu.
Bagi mengurangkan masalah gangguan dan mempercepat tempoh pemulihan gangguan bekalan elektrik, TNB Johor memperuntukkan RM58 juta bagi Projek Sistem Bekalan Elektrik di Tampoi, di Kulai, di Mersing dan di Pasir Gudang. Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar sebanyak RM7.04 juta akan memberi manfaat kepada 184 keluarga di 4 buah kampung. Antaranya ialah Kampung Tersusun Murni Jaya, Mukim Sedenak Kulai, Kampung Melayu Ulu Choh, Pekan Nanas, Pontian, Kampung Punggai Kota Tinggi, Pengerang dan Kampung Tersusun Tunku 3, Segamat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, TNB juga mensasarkan RM550,000.00 sebagai CSR untuk memberi rebat bil elektrik RM40.00 sebulan kepada 1,040 orang miskin tegar. TNB juga turut melaksanakan Program Pencahayaan Luar Bandar yang melibatkan 8 lokaliti luar bandar termasuk FELDA Ulu Tebrau di Johor Bahru, Kampung Lurus Darat di Batu Pahat dan Parit Amal di Pontian.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhir sekali saya sedar jaringan jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang baik merupakan pra syarat penting untuk Johor menjadi sebuah negeri maju. Pelbagai strategi telah dan sedang disusun bagi memastikan Johor memiliki jaringan jalan raya terbaik dan bertaraf dunia, pengangkutan awam yang terbaik serta bekalan elektrik dan bekalan air berada pada kualiti terbaik untuk rakyat negeri Johor.
Penat menari, duduk di hujung, ini pantun dah habis Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Penat menari duduk di hujung, basah baju, singgah di Paloh, hasrat negeri kita junjung, Johor Maju 2030. Sekian, Kepada Allah Berserah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker atas ruang dan peluang. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih, Yang Berhormat Bukit Pasir. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam Sejahtera, Salam Maju Johor. Izinkan saya memulakan ucapan penggulungan saya dengan merafak sembah menjunjung kasih dengan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia pada 22 November 2022. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Permaisuri Johor serta kerabat Diraja dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan, sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan berkekalan. Semoga di bawah naungan Tuanku, negeri Johor bertambah maju, aman dan sejahtera.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kejayaan pasukan bola sepak JDT mencatat sejarah selepas meraih kejayaan berlipat ganda, dengan izin, quadruple dalam arena bola sepak tempatan. Sudah pasti seluruh Bangsa Johor amat berbangga dengan pencapaian luar biasa ini.
Begitu juga, seluruh kontinjen Johor atas kejayaan di Kejohanan SUKMA baru-baru ini. Syabas diucapkan. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat di sebelah saya, Yang Berhormat Bukit Pasir merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur yang telah menerima pengiktirafan sebagai Jurutera ASEAN sempena Conference of ASEAN Federation of Engineering Organization, di Phnom Penh, Cambodia, 2 hari yang lepas. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, izinkan saya memulakan ucapan penggulungan ini dengan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan berfokus Tema, “Maju Johor : Makmur bersama Rakyat”.
Pelbagai inisiatif melibatkan projek pembangunan inklusif mahu pun bantuan secara bersasar telah untuk manfaat seluruh rakyat negeri Johor telah diperkenalkan. Belanjawan ini turut dijangka dapat merancakkan ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan domestik dalam masa terdekat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya berterima kasih atas cadangan Yang Berhormat Kukup mengenai keperluan integrasi atas sinergi di antara semua jabatan atau agensi berkaitan pemulihan ekonomi dalam usaha kerajaan memberi keyakinan kepada pemain industri untuk terus membuat pelaburan di negeri ini. Justeru, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif bagi perkara tersebut dengan melaksanakan beberapa inisiatif melalui Invest Johor yang berperanan sebagai agensi utama, atau focal point bagi sektor pelaburan di negeri ini untuk kerajaan negeri Johor.
Invest Johor telah giat memperkasakan jalinan kerjasama strategik bersama jabatan dan agensi berkaitan pelaburan sama ada di peringkat negeri mahu pun persekutuan seperti MIDA, MITI, JPDC, IIB dan lain-lain. Dan, ini dapat dizahirkan dengan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Johor yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Jalinan strategik ini dimeterai untuk mendapatkan titik tengah dan persetujuan semua pihak terbabit bagi mengurangkan karenah birokrasi, atau pun red tape dalam segala urusan berkenaan proses pelaburan dan seterusnya menyokong hasrat misi dan visi kerajaan negeri untuk menjenamakan negeri Johor sebagai destinasi mesra pelabur di rantau ini. Kulai Fast Lane yang melibatkan kerjasama rapat semua agensi, Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya dilaksanakan di daerah Kulai, turut akan dilaksanakan di seluruh negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sepertimana petikan Belanjawan Johor 2023, kerajaan negeri telah pun menzahirkan komitmen tinggi dalam memastikan sistem tadbir urus serta perkhidmatan kerajaan dapat ditambah baik dan dipertingkatkan selari dengan keperluan global. Ia dapat dilihat dalam Teras 1 iaitu Tadbir Urus Kerajaan menerusi strategi penyampaian perkhidmatan yang responsif dan strategik, Memperhebat Johor Bahru.
Bagi meningkatkan kredibiliti, kapasiti dan kompetensi Invest Johor sebagai one stop centre, pembangunan pelaburan negeri ini kerajaan negeri menerusi Teras 2 : Pembangunan Ekonomi dan di bawah strategi 1 : Memperkasa Misi Pelaburan akan melaksanakan inisiatif pemerkasaan dan pengkorporatan Invest Johor. Pelaksanaan inisiatif ini secara langsung dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dan jenama Invest Johor sebagai agensi utama sektor pelaburan kerajaan negeri Johor.
Selepas 18 tahun ditubuhkan, tugas dan peranan Invest Johor semakin bertambah seiring dengan revolusi dan trend pelaburan. Ini memerlukan nilai tambah dalam agensi ini supaya ia kekal menjadi pemudah cara dalam memastikan kemasukan pelaburan bermutu tinggi ke negeri Johor dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada para pelabur. Justeru, pemerkasaan kepada Invest Johor pada masa sekarang adalah satu tindakan yang tepat bagi memperluaskan skop perkhidmatan Invest Johor kepada sektor-sektor baharu, selain sektor pembuatan. Menawarkan khidmat nasihat dan juga sebagai penghubung perniagaan kepada bakal pelabur, merangka polisi pelaburan dan sebagai marketing arm kerajaan negeri Johor dalam hal pelaburan, perdagangan dan industri.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Perling membangkitkan satu pemerhatian bahawa wujudnya pendekatan untuk menarik pelabur masuk semata-mata untuk memperoleh nilai pelaburan tinggi sahaja. Dalam hal ini, izinkan saya menerangkan bahawa agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Invest Johor, MIDA dan lain-lain sentiasa mengambil pendekatan yang komprehensif dalam meluluskan sesuatu pelaburan. Penilaian terperinci akan dibuat mengenai latar belakang setiap pelaburan. Antara kriteria terutama penilaian tersebut adalah tawaran kepakaran serta teknologi selain jumlah tawaran atau peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan daripada pelaburan tersebut bagi manfaat pembangunan modal insan di negeri ini. Pihak Berkuasa Tempatan juga akan mempertimbangkan isu keperluan utiliti sebelum meluluskan sesuatu permohonan supaya ia tidak menjejaskan kawasan berhampiran.
Selain Jawatankuasa Pelaburan Johor, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor sebagai platform sinergi yang melibatkan pelbagai jabatan serta agensi terutamanya yang berkaitan sektor pelaburan, pendidikan dan sumber manusia bagi menyelaras pelan perancangan semua usaha pembangunan bakat atau penyediaan tenaga mahir yang selari dengan pelan pelaburan yang berjaya beroperasi dan diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Benut telah membangkitkan persoalan mengenai status pelaksanaan bagi cadangan inisiatif mewujudkan peruntukan pemudah cara pelaburan atau dikenali sebagai Tabung Fasilitasi Pelaburan, Investment Facilitation Fund. Cadangan pelaksanaan inisiatif tersebut telah dipertimbangkan oleh pelbagai agensi melalui beberapa sesi libat urus bagi menentukan mekanisme pelaksanaan inisiatif ini. Namun, Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor baru-baru ini telah memutuskan bahawa pelaksanaan inisiatif ini ditunda bagi memberi keutamaan kepada pelaksanaan inisiatif-inisiatif lain.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya berkaitan persoalan dan cadangan Yang Berhormat Pemanis, Bukit Naning, Parit Raja dan Pekan Nanas mengenai isu ketidak seimbangan pembangunan serta limpahan ekonomi kawasan selain Johor selatan.
Kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sentiasa mengambil pendekatan yang pragmatik dalam menentukan keseimbangan pembangunan dan limpahan ekonomi bagi manfaat seluruh wilayah dan warga negeri Johor.
Merujuk kepada Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2030 di bawah Teras Pemerkasaan Ekonomi dan Fasa 1 : Pembangunan berasaskan wilayah selain berfokuskan ekonomi mengikut kekuatan wilayah atau daerah, kerajaan akan melaksanakan projek-projek pemangkin ekonomi dengan menumpukan penggunaan sumber ekonomi optimum yang boleh dibuat pada skala yang lebih besar selain pelan perbandaran yang lebih terangkum dan menyeluruh. Antara contoh.
Yang Berhormat…
Ya.
Banyak lagi?
5 minit Yang Berhormat Timbalan Speaker.
Azan dilaungkan. Sila duduk. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.05 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, adalah menjadi hasrat kita untuk memastikan bahawa Sesi Penggulungan Ahli-Ahli Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa akan dapat ditamatkan pada hari ini untuk memberi laluan kepada penggulungan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar pada hari Ahad nanti, insya-Allah.
Justeru itu, adalah diminta Ahli-Ahli Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa untuk memastikan bahawa penggulungan tidak melebihi 20 minit melainkan kepada mereka yang memberi laluan yang lebih kepada rakan seperjuangan mereka. Tanpa melewatkan waktu, dijemput Yang Berhormat Paloh, meneruskan.
Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, antara contoh projek-projek pemangkin ekonomi yang telah dan sedang dibangunkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, adalah Pagoh Special Economic Zone di wilayah utara negeri Johor, Muar Furniture Park dan Kawasan Perindustrian Gambir di daerah Muar dan Tangkak, Pengerang Integrated Petroleum Complex di wilayah pantai timur Johor, Sedenak Technolgy Valley di wilayah Johor tengah dan Tanjung Langsat Integrated Complex dan Hab Halal Iskandar di selatan Johor dan banyak lagi. Projek-projek pemangkin ini akan dapat memberi kesan berganda ataupun multiplier effect, dengan izin yang positif kepada ekonomi negeri amnya dan wilayah setempat secara khususnya. Mudah-mudahan semua pelan perancangan ini dapat direalisasikan bagi menyediakan taraf hidup yang wajar atau descent standard of living dan kondusif kepada semua rakyat negeri Johor dan seterusnya menangani jurang pendapatan antara wilayah.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Stulang telah pun berkongsi pandangan bagi usaha-usaha menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berimpak tinggi demi mencipta peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih menarik untuk menarik golongan upper income selain saranan agar kerajaan negeri dapat merancakkan lagi usaha-
usaha penganjuran ekspo-ekspo perniagaan, acara, seminar kebudayaan, pameran dan sebagainya yang bertaraf antarabangsa. Seperti mana yang kita sedia maklum, potensi sektor penganjuran acara berteraskan MICE, Meetings, Incentives, Convention and Exhibition dapat memberi limpahan ekonomi yang besar dan tidak terkecuali sektor-sektor sokongan yang berkaitan.
Kerajaan negeri amat peka dengan perkara ini dan telah mengambil tindakan proaktif bagi meneroka segala peluang bagi menarik pelaburan dan seterusnya meraih manfaat dari penganjuran acara-acara tersebut. Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Acara Perniagaan Johor akan memfokuskan pembangunan sektor MICE yang dilihat sebagai satu sumber perolehan baru bagi pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Bagi usaha mempromosi, menyelaras dan memudah cara penganjuran acara-acara pelaburan atau perniagaan di negeri Johor, Johor Convention Exhibition Bureau telah pun diwujudkan dan berperanan untuk mengenal pasti potensi serta peluang penganjuran acara perniagaan yang berteraskan sektor MyCEB. JCEB juga giat berkerjasama dengan pihak MyCEB di peringkat pusat bagi meningkatkan lagi potensi hab penganjuran acara-acara yang disasarkan.
Bagi mendukung serta merangsang pembangunan industri ini, kerajaan negeri telah pun menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000.00, bagi pelaksanaan inisiatif lima di bawah strategi misi galakan pelaburan iaitu penganjuran Johor International Bases Summit. Ini merupakan langkah awal kerjaan negeri dalam meneroka potensi sektor ini. Kerajaan Negeri Johor juga amat berharap pelaksanaan inisiatif ini akan dapat memberi impak yang positif dan maksima kepada ekonomi negeri dan kemakmuran rakyat negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum mengakhiri penggulungan saya, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa indikator-indikator ekonomi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023, seperti jumlah pelaburan, perdagangan, kadar pengangguran dan sebagainya telah menunjukkan bahawa negeri Johor berada pada landasan pemulihan ekonomi yang betul. Namun demikian, kita sedia maklum bahawa atas pelbagai faktor dalaman dan luaran, pelbagai pihak telah menyebut bahawa tahun depan merupakan satu tahun yang agak mencabar. Oleh itu, dalam menghadapi tempoh pertumbuhan ekonomi serantau atau global yang semakin perlahan, kami perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan daya saing Teras Johor atau Our Core Capacity terutamanya dari segi modal insan dan infrastruktur asas agar kita dapat manfaat paling besar apabila keadaan dalaman dan luaran bertambah baik. Itulah sebabnya kerajaan negeri dalam Belanjawan 2023, telah mengambil langkah proaktif untuk melabur dalam generasi muda bagi membantu kita keluar daripada kitaran berprestasi rendah yang membawa kepada pekerjaan bergaji rendah dan berkemahiran rendah.
Kerajaan negeri turut memberi fokus kepada isu-isu pembangunan mampan yang menjadi tumpuan pelabur. Kerajaan negeri melalui kerjasama dengan kerajaan United Kingdom akan melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Hijau Johor di bawah program UK Honoring For Accelarate Climate Transition yang telah disambut baik oleh pelabur-pelabur antarabangsa.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, semua cadangan, input dan persoalan yang telah dikemukakan oleh semua Ahli-Ahli Yang Berhormat sepanjang sesi Perbahasan berhubungan Belanjawan ini, akan diambil perhatian serta tindakan yang sewajarnya. Akhir kata, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk semua pegawai JCS dan persekutuan yang bersatu hati menempuh cabaran dalam memacu perkembangan ekonomi negeri ke arah yang lebih cemerlang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta. (Dewan bertepuk). Sekian, terima kasih. Salam Maju Johor.
Terima kasih Yang Berhormat Paloh, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Yong Peng, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam sejahtera, salam perpaduan, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat.
Pertamanya, patik ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar General Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang telah dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu, ucapan tahniah juga diucapkan kepada Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor yang dilantik sebagai Pro Canselor UTHM yang baharu.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat EXCO YB Bukit Pasir, kerana dapat menerima pengiktirafan sebagai Jurutera ASEAN. (Dewan bertepuk). Dan juga ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucap selamat hari jadi ke-26, bagi YB Mahkota. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Larkin juga EXCO Belia dan Sukan, YB Paloh EXCO Pelaburan, kerana dalam tahun ini dan juga saya ucapkan tahniah kepada seisi Dewan dan juga Bangsa-Bangsa Johor, kerana dalam tahun ini bola jaring kita nombor satu, (Dewan bertepuk) bola sepak kita, JDT berkali-kali nombor satu, pasukan SUKMA kita, nombor satu.(Dewan bertepuk.) Pelaburan FDI pun nombor satu. Tahniah dan syabas Bangsa Johor. Katil empuk tertidur enak, di dodoi tidur pelbagai irama, Kerajaan Perpaduan telah dibina, Maju Johor Makmur Bersama. (Dewan bertepuk.)
Ucapan ribuan tahniah dan selamat maju jaya kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar bin Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10, tidak lupa juga kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang baru Dr. Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen dari Johor, orang Johor, mudah-mudahan bawa lebih untuk Johor. Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago anak Dagang, serta semua barisan kabinet Kerajaan Perpaduan, tahniah di atas pelantikan dan selamat menjalankan tugas.
Kami di dalam saf kepimpinan kerajaan negeri Johor sentiasa bersifat terbuka dan berlapang dada untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di pusat, yang penting bawa kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi bagi negara tercinta kita Malaysia. Semoga inisiatif-inisiatif yang baik seperti pembinaan Hospital Pasir Gudang, peruntukan Kampung Baru dan projek-projek yang sedia ada diteruskan seperti biasa serta hasrat Bangsa Johor supaya pembinaan baharu Hospital Sultanah Aminah Kedua, yang telah dicadangkan pada Rolling Plan Ketiga dengan izin RMKe-12 akan diberi berita gembira pada pembentangan semula Bajet Belanjawan Negara 2023 nanti.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seperti semua sedia maklum, pada pembukaan Dewan pada minggu lalu, Menteri Besar Johor telah membentangkan Belanjawan 2023, yang memakan belanja sebanyak RM1,731.74 juta dengan tema Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, telah menggariskan beberapa teras di kesempatan ini, izinkan saya mengulas dua teras yang melibatkan portfolio saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor.
Pertamanya, adalah Teras Ketiga : Jaringan Keselamatan Sosial. Teras ini mempunyai sebanyak empat strategi dan sembilan belas inisiatif. Dan yang kedua, adalah Teras Keempat : Kemudahan Dan Keperluan Asas, yang diperincikan melalui empat strategi dan tiga belas inisiatif.
Pertamanya, ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas peruntukan sebanyak RM1.56 juta untuk peningkatan hubungan ukhuwah di antara Bangsa Johor. Dalam teras tiga ini melalui strategi keempat adalah pelbagai program dan inisiatif yang akan dijalankan. Pertamanya, RM500,000.00 bagi program Duta Perpaduan Johor. Program ini telah dilancarkan tahun ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari belia-belia di Johor. Seramai 160 orang duta telah dipilih dan menjalani tiga bengkel Pemerkasa dan sekarang di dalam fasa masuk ke komuniti dan bersama komuniti. Oleh itu, bagi tahun hadapan, kita akan adakan lantikan baharu bagi belia-belia negeri Johor yang berminat.
Seterusnya, kita mempunyai program seperti Karnival Bangsa Johor dengan peruntukan RM200,000.00, penubuhan Jawatankuasa Harmoni dengan peruntukan RM50,000.00, pemberian kit rondaan kepada SRS aktif sebanyak RM180,000.00 dan juga Kursus Pemerkasakan Pasukan SRS dengan peruntukan RM50,000.00, Program Silang Budaya dengan peruntukan RM350,000.00, Projek Aqua Grow dengan peruntukan RM230,000.00. Jadi, jumlahnya RM1.56 juta untuk Program Perpaduan Bangsa Johor.
Sebelum gerak ke teras seterusnya, izinkan saya menjawab dan mengejut YB Tangkak dari kekeliruan, bagi inisiatif ketiga adalah berkenaan penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Berbagai Agama. Yang pertamanya, terima kasih atas cadangan berkenaan mengambil MCCBCHST menjadi anggota Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama. Untuk makluman YB Tangkak, saya sendiri sudah mengadakan beberapa kali mesyuarat bersama mereka dan mereka memang sebahagian dari rakan strategik kita dalam penubuhan Jawatankuasa Harmoni ini. Dan kita akan masukkan juga wakil dari Agama Islam agar Jawatankuasa ini benar-benar dapat mengharmonikan masyarakat negeri Johor. Berkenaan peruntukan RM50,000.00 kepada MCCBCHST Johor yang dibawakan oleh YB Tangkak, peruntukan berkenaan sudah dikreditkan ke dalam akaun mereka pada 25 Ogos 2022.
Oleh itu, saya mohon YB Tangkak semak balik dengan informer anda, supaya cadangan, cadangkan supaya YB Tangkak untuk jangan terlalu gopoh untuk menembak tanpa semak terlebih dahulu. Satu lagi, saya ingin mohon YB Tangkak untuk baca, dengar dan fahamkan ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor berkenaan peruntukan RM50,000.00 bagi penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Negeri Johor tersebut, kerana peruntukan itu bukan untuk diagihkan kepada rumah-rumah ibadat tapi bagi pelaksanaan program-program yang mendapat meningkatkan keharmonian antara agama di negeri Johor. Saya keliru dan tidak faham niat YB Tangkak untuk memecahkan bajet RM50,000.00 itu kepada semua rumah ibadat cuma dengan RM23.72. Jadi, saya harap YB Tangkak lebih peka dan cakna akan pembentangan di dalam Dewan dan jangan catit sikit-sikit, tapi mohon dengar dan catit sampai habis.
Yong Peng juga pesan kepada YB di sebelah sana, supaya jangan cakap tak serupa bikin, dalam Dewan dilaungkan hari-hari bahawa kita dalam landskap politik baru, nak kerjasama tapi senyap-senyap dekat luar buat sidang media pula. Kata itu dan ini mengutuk kerajaan negeri hari ini. Tidak baik macam tu. Untuk YB di sebelah sana, pantun ini untuk anda, sidang Dewan bukan waktu malam, dalam Dewan jangan main-main, kita jangan jadi talam, di dalam lain, di luar lain. (Dewan bertepuk.)
Seterusnya, bagi inisiatif terakhir untuk strategi keempat bagi teras tiga ini adalah Kerohanian Dan Kebajikan Masyarakat Tionghoa, India dan lain-lain sebanyak RM12 juta. Saya ulangi semula, strategi keempat bagi teras tiga ini adalah Kerohanian Dan Kebajikan Masyarakat Tionghoa, India dan lain-lain sebanyak RM12 juta. Catat eh YB. Ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan saya percaya ianya akan memberi impak yang besar kepada Bangsa Johor yang berbilang bangsa dan agama.
Bagi teras keempat melalui strategi keempat adalah Meningkatkan Tahap Kesihatan. Fokusnya, adalah kepada menyediakan akses dan kemudahan fasiliti kesihatan untuk Bangsa Johor. Jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana memberikan peruntukan dan perhatian terhadap institusi kesihatan di negeri Johor. Tahun 2022, kami telah bantu HSA, HSI, Hospital Kota Tinggi, Hospital Pontian dengan peruntukan tidak kurang daripada RM1.2 juta. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Sebelum saya mengulas inisiatif di bawah strategi ini, izinkan saya menjawab beberapa soalan berkenaan fasiliti kesihatan di negeri Johor yang diajukan oleh YB Gambir, YB Tangkak dan juga YB Kota Iskandar. Untuk makluman seisi Dewan, Klinik Kesihatan Bukit Gambir telah beroperasi semenjak tahun 1995, Klinik Kesihatan Paya Mas telah beroperasi semenjak tahun 1970 dan Klinik Kesihatan Gelang Patah telah beroperasi sejak 1975. Semua klinik kesihatan ini memang di bawah kategori klinik premier dan sudah lama beroperasi. Ianya sudah di bawah pemerhatian Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan akan dicadangkan pembinaan klinik kesihatan baharu. Namun, sekarang masih dalam fasa di mana Pejabat Kesihatan Daerah sedang mengenal pasti tapak yang sesuai untuk cadangan pembinaan baharu. Dan juga untuk makluman YB Parit Raja, jangan risau, projek membina baru Klinik Kesihatan Parit Raja telah diluluskan dalam RP 2, RMKe-12 dengan peruntukan RM35 juta dan kerja awalan sedang dilaksanakan.
Saya dan barisan Jabatan Kesihatan Johor akan cuba untuk teliti kembali dan mempercepatkan urusan pencarian tapak yang sesuai. Sama-sama kita usaha dan doa agar lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan untuk kita membangunkan fasiliti kesihatan di negeri Johor.
Bagi soalan dari YB Penawar, tidak dinafikan faktor geografi adalah antara penghalang capaian akses, accesibility minta izin, dengan kemudahan kesihatan. Namun begitu, dengan jaringan fasiliti kesihatan awam seperti klinik-klinik kesihatan di kawasan FELDA dan Pengerang dapat meningkatkan kepada capaian akses kesihatan dan rawatan selain perkhidmatan pra hospital atau ambulans yang dijalankan di fasiliti tersebut dapat memendekkan tempoh masa perjalanan bagi pesakit akut untuk datang ke hospital.
Bagi isu yang dibawa oleh YB Skudai mengenai kesihatan mental dan YB Jementah mengenai isu obesiti, sebenarnya Kementerian Kesihatan telah melancarkan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat dan peringkat negeri Johor kita telah menyelesaikan pelancaran peringkat negeri dan telah menjelajah ke setiap daerah dalam negeri Johor. Tahun hadapan, kita akan berfokus kepada kesedaran dan program ini memang berfokus kepada kesihatan diri dari aspek mental dan juga fizikal yakni isu obesiti. JKN Johor akan sentiasa memantau dan membuat penilaian keperluan pembangunan hospital ataupun penambahan bangunan baharu di dalam hospital-hospital negeri Johor di mana di antara faktor yang diambil kira adalah peningkatan populasi yang mendadak dan beban kerja sedia ada di fasiliti kesihatan setempat.
Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker, saya harap saya dapat menjawab persoalan kepada semua yang bertanya. Inisiatif pertama dalam strategi ini adalah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Negeri Johor. Misi penubuhan Jawatankuasa ini adalah bagi mengumpulkan pakar-pakar perubatan dari pihak kerajaan dan swasta bagi mendapatkan pandangan dan nasihat profesional dalam memastikan setiap fasiliti serta kemudahan-kemudahan kesihatan di Johor ini sentiasa berada dalam kondisi yang baik dan kondusif. Selain itu, mereka juga berperanan dalam menjalankan program-program kesedaran dan aktiviti-aktiviti kesihatan. Jawatankuasa ini bukan sahaja sesama agensi kerajaan tetapi juga penglibatan dari pihak swasta melalui Public Private Partnership Programme, dengan izin. Hospital-hospital swasta juga akan bersama menjalankan Program CSR untuk Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan sekalian, dari Januari 2022 hingga hari ini, sebanyak 3,600 kes denggi telah dikesan dan meragut tiga nyawa Bangsa Johor. Oleh itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM200,000.00 bagi kita sama-sama menjalankan Program Hapuskan Denggi.
Inisiatif terakhir dalam strategi keempat ini adalah Bangsa Johor Bebas Dadah. Sebanyak RM200,000.00 bagi membasmi masalah dadah di negeri Johor. Peruntukan ini dipecahkan kepada dua iaitu RM100,000.00 untuk perlaksanaan program supaya memberi kesedaran kepada komuniti dan RM100,000.00 bagi mengeratkan Program AADK. Terima kasih kepada YB Mahkota atas cadangan. Saya akan Program AADK selepas ini akan lebih dekat bersama masyarakat dan komuniti. Johor mempunyai 17 hotspot kes penyalahgunaan dadah dan tahun ini kita berjaya hijaukan satu kawasan. Semoga dengan program-program ini kita dapat menghijaukan ke semuanya menjelang tahun 2025.
Sebelum saya menutup tirai perbahasan pada hari ini, izinkan saya menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah binti Mohamed Sadique yang banyak membantu negeri Johor dengan peruntukan RM13 juta untuk pembangunan Kampung Baru dan RM2 juta untuk pembaikan rumah ibadat selain Islam dalam negeri Johor. Tidak lupa juga, mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin yang sentiasa membawa inisiatif dan program-program baharu dalam memperkasakan institusi kesihatan kita.
Serangkap pantun sebelum saya mengundur diri, sebulan lebih melihat drama, duduk tepi kenang nostalgia, negeri Johor teguh bersama, aman makmur kekal bahagia. Sekian, terima kasih. Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat. (Dewan bertepuk.).
Yang Berhormat Yong Peng, sorong papan tarik papan, terima kasih pendekkan ucapan. Ahli-Ahli Dewan, kita ucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada ADUN Bukit Permai dan ADUN Bukit Pasir yang bersama-sama kita dalam Dewan ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Larkin, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker terlupa orang Larkin dekat atas ada juga. Orang Larkin makan ke Sungai Melayu, makan sembilang bermangkuk-mangkuk, izinkan Larkin untuk menggulung, jangan ada yang tidur pula. (Dewan ketawa.) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pertamanya, saya dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam Sesi Penggulungan Perbahasan Di Mesyuarat Keempat Belanjawan Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Patik, seluruh warga Larkin, jabatan dan agensi ingin merakamkan ucapan Merafak Sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu. Patik dan seluruh warga jabatan dan agensi juga berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat DiRaja dilanjutkan usia, sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat. Semoga negeri Johor ini akan terus makmur, aman di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Muafakat Itu Berkat, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.
Yang Berhormat Datuk Speaker, patik juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas pemasyhuran sebagai Canselor Universiti Tun Hussien Onn Malaysia atau UTHM sempena Istiadat Konvensyen Yang Ke-22 UTHM pada 3 Disember yang lalu. Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan Pasukan Bola Sepak JDT menjuarai Piala Malaysia 2022 pada 26 November yang lalu. Sekali gus, menobatkan JDT sebagai pasukan pertama mencipta dan menjulang 4 piala dalam satu musim. (Dewan bertepuk.) Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas pemasyhuran sebagai Pro Canselor UTHM Sempena Istiadat Konvensyen UTHM pada 3 Disember yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Simpang Jeram, Yang Berhormat Perling dan semua calon-calon yang berjaya memenangi kerusi Parlimen di Johor dalam Pilihan raya Umum Yang Ke-15 yang berlangsung pada 19 November yang lalu. Sekali gus, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Dr. Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri 1, Yang Amat Berhormat Datuk Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri 2 dan seluruh menteri-menteri yang telah mengangkat sumpah baru-baru ini. Semoga mandat dan amanah dapatlah dijalankan dengan jayanya.
Yang terakhir, ucapan tahniah, suka saya merakamkan ucapan tahniah kepada pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2023 bertemakan, “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”, pada 1 Disember yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi Persidangan ini, pelbagai maklum balas yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahupun teguran yang dilontarkan oleh pihak di seberang sana mahupun rakan-rakan saya di pihak kerajaan dan semua saya telah ambil maklum. Selain daripada itu, saya juga telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan dan setiap maklum balas yang diberikan, saya menerima dengan berlapang dada dan sukacitanya saya untuk menjawab soalan-soalan berbangkit ini pada sesi penggulungan petang ini.
Bagi menjawab soalan-soalan Yang Berhormat Datuk Speaker, berikan ruang, masa kepada Larkin untuk menggulung lebihkan masa sikit kalau boleh, sebab 5 portfolio, harap maklum Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya akan menyentuh isu berkaitan pembangunan usahawan terlebih dahulu. Disebabkan ia paling banyak dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam sesi kali ini, terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Dewan yang cakna dan mengambil berat mengenai keberadaan penggiat-penggiat usahawan di kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Menjawab cadangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Panti, mengenai keperluan mewujudkan inisiatif khas seperti subsidi cukai bagi premis yang menjalankan kegiatan e-ekonomi. Penawaran latihan percuma kepada usahawan, subsidi peralatan atau laluan khas bagi permohonan geran yang sedia ada.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, PUJB merupakan agensi berkaitan pembangunan usahawan di bawah, saya lebih memberikan fokus kepada penawaran latihan, penawaran latihan percuma kepada usahawan, subsidi peralatan atau laluan khas bagi permohonan geran sedia ada. Manakala bagi perkara lain, sesuai diajukan pertanyaan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi cadangan subsidi cukai premis yang menjalankan kegiatan e-ekonomi dan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor berkenaan cadangan servis percuma kenderaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Panti, penawaran latihan kepada usahawan yang dikelolakan oleh PUJB dilaksanakan secara berkala dan mengikut
keperluan serta kehendak para usahawan. Malahan, pihak PUJB hanya mengenakan yuran komitmen yang berpatutan, antara RM50.00 hingga RM100.00 setiap kali latihan dilaksanakan. Selain itu, berkenaan subsidi peralatan, pihak kerajaan negeri Johor mengambil maklum berkenaan perkara tersebut dan dibawa ke perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan kerana berpandangan bahawa subsidi peralatan ini perlu dibahagikan jumlah peratusan antara penerima dan kerajaan berdasarkan nilai peralatan tersebut agar kedua-dua belah pihak mampu melaksanakannya.
Berkenaan laluan khas bagi permohonan geran sedia ada, adalah menerusi sistem Pusat Data Usahawan Padu. Dalam sidang DUN sebelum ini, saya telah memaklumkan bahawa para usahawan di Johor perlu mendaftar di dalam Sistem Padu ini yang dikelolakan sebagai salah satu mekanisme untuk mengumpulkan data usahawan di Johor ini. Ianya sangat penting kerana data tersebut menjadi rujukan dan pelaporan kepada kerajaan negeri berkenaan bentuk bantuan dan jumlah bantuan yang telah disalurkan kepada para usahawan. Malahan, saya juga telah mencadangkan agar Padu ini diwajibkan kepada semua agensi keusahawanan di Johor menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) agar para usahawan mendaftar dan ia perlu segera dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pemanis ada mencadangkan agar institusi seperti PUJB, JCorp, YPJ dan Majlis Agama Islam Johor yang mempunyai kemampuan membeli aset-aset rumah kedai dan kawasan kilang industri agar menyediakan pakej rent to own, dengan izin, bagi membantu usahawan-usahawan yang sedia ada memiliki aset mereka sendiri dalam tempoh tiga hingga lima tahun berniaga.
Untuk makluman Yang Berhormat Pemanis, sehingga kini PUJB belum bercadang untuk membeli aset-aset rumah kedai dan kawasan kilang industri. Bagaimanapun, PUJB telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan lot komersial milik SSI melibatkan jumlah keseluruhan sedang diuruskan bagi tahun 2022 adalah sebanyak 98 unit bersamaan dengan 278 lot yang meliputi 5 daerah iaitu daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Muar. Dan sebanyak 170 lot atau bersamaan 61.2% telah disewakan kepada usahawan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab cadangan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Raja berkenaan menghimpunkan semua agensi yang berkaitan dengan usahawan dan keusahawanan di bawah satu agensi pemudah cara, PUJB telah memainkan peranan sebagai penyedia program keusahawanan negeri Johor dan menjadikan One Stop Centre menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) yang dianggotai seramai 49 agensi dan jabatan yang berkaitan daripada pihak persekutuan mahupun jabatan negeri. Atas sebab itu, menerusi persetujuan dan cadangan semua ahli MPUNJ telah mewujudkan satu sistem yang dipanggil PADU yang bertujuan menjadikan rujukan dan maklumat berkaitan usahawan bagi berdaftar yang telah menerima bantuan untuk pelaporan kepada pihak kerajaan negeri secara berkala. Kerajaan negeri juga bercadang untuk melaksanakan sesi town hall atau libat urus melibatkan MPUNJ merangkumi seluruh Johor menerusi 4 zon untuk memastikan peranan serta maklumat berkaitan pembangunan keusahawanan dapat disalurkan kepada semua.
Yang Berhormat Pasir Raja juga ada membangkitkan beberapa cadangan untuk membantu peniaga-peniaga kecil. Untuk makluman Yang Berhormat, saya menyambut baik cadangan yang dilontarkan namun perkara ini akan dipanjangkan ke EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi teliti dan diambil tindakan yang sepatutnya kerana untuk melonggarkan syarat tapak berniaga saya yakin saya akan berjumpa dengan, bersama dengan YB EXCO Perumahan untuk melonggarkan dari segi lesen dan sebagainya, insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tanjung Surat dan Mahkota juga ada membangkitkan mengenai jumlah terkini usahawan yang telah mendaftar dengan sistem PADU selain mencadangkan skim bantuan atau geran yang dilaksanakan diteruskan serta
diperluaskan lagi. Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga kini seramai 13,146 usahawan yang telah mendaftar di bawah sistem PADU. PUJB telah melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan seperti latihan, bantuan geran padanan perniagaan dan lain-lain. Di mana program ini telah memberi manfaat kepada hampir 130,000 usahawan di negeri Johor sejak tahun 2016 sehinggalah kini. Untuk makluman Yang Berhormat, PUJB komited dalam memastikan usahawan mendapat manfaat dalam merancakkan kembali industri perniagaan usahawan supaya terus berkembang daripada semasa ke semasa khususnya melalui pelbagai bantuan dan geran pada tahun 2023. Antara geran yang disebut menjadi perhatian oleh usahawan iaitu Geran Usahawan Bangsa Johor. Turut diperkenalkan juga satu geran berbentuk pemasaran yang baru dikenali sebagai Jelajah Usahawan Johor. Dan tidak juga dilupakan bagi persatuan komuniti diberikan nafas baru iaitu diberikan nama Program Pembangunan Ekonomi Setempat.
Sehubungan dengan itu, saya akan pastikan komitmen kerajaan negeri meningkatkan peruntukan bagi sektor keusahawanan bagi tahun mendatang terus dipertingkatkan agar peranan PUJB membantu para usahawan baru mahu pun sedia ada mampu dilaksanakan. Saya yakin Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita dapat membantu meningkatkan sektor keusahawanan di Johor dan mengharapkan agar PUJB terus diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri sebagai agensi pelaksana yang didukung oleh agensi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Mengkibol di dalam perbahasannya turut mempersoalkan peruntukan RM1 juta untuk pelaksanaan Festival Usahawan Bangsa Johor dan mahu mengetahui keberkesanan penganjurannya. Untuk makluman Yang Berhormat Mengkibol, kerajaan negeri Johor menerusi PUJB telah pun berjaya menganjurkan Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor ataupun lebih dikenali FIJO pada tahun 2022 baru-baru ini. Pada tahun ini, yang bertempat di Persada Johor International Konvensyen Centre yang melibatkan 177 pempamer dan kehadirannya seramai 132,000 orang pengunjung dengan nilaian jualannya sebanyak RM20 juta. Selain itu, menerusi program ini juga sebanyak 5 syarikat Johor telah berjaya menandatangani MOU bersama syarikat Indonesia iaitu PT Irma Ardani Global Indonesia dengan nilai RM46 juta. PUJB juga telah melaksanakan Simposium Usahawan Nusantara yang diadakan tiga siri dengan jumlah pengunjung seramai 13,370 orang dan seramai 152 usahawan terlibat dengan jumlah jualannya RM117,000.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu berkaitan sumber manusia juga menjadi kedua paling banyak diutarakan membabitkan portfolio di bawah saya. Saya akan cuba menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Panti, Pemanis dan Mahkota ada membangkitkan mengenai penyediaan peluang latihan, kemahiran, pemadanan pekerjaan dan pengumpulan bakat-bakat berkaitan dengan teknologi. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Panti, Pemanis dan Mahkota atas pandangan dan cadangan yang dikemukakan. Untuk makluman Yang Berhormat, Unit Strategik Modal Insan atau lebih dikenali SMI menyambut baik pandangan dan cadangan yang diberikan berkenaan perancangan dan pendekatan Program Latihan Kemahiran Johor ataupun PRO Mahir. Untuk makluman Yang Berhormat pada tahun 2022, sebanyak RM5.2 juta telah diperuntukkan kepada Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor. Bagi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor PRO Mahir, daripada peruntukan ini seramai 1,304 orang peserta telah diberikan peluang latihan berserta penempatan pekerjaan sejurus tamat latihan dalam pelbagai sektor yang ditawarkan khususnya kepada rakyat Johor. Latihan yang dijalankan merupakan latihan yang mendapat permintaan yang tinggi dalam industri sebagaimana hasil perbincangan dan pemantauan bersama pusat latihan dan pihak industri. Dengan izin saya berkongsi bahawa Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor sedang giat merangka dan merencana pelbagai inisiatif berkaitan program latihan kemahiran antaranya melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor. Mesyuarat ini akan membincangkan berkenaan pemilihan latihan daripada permintaan industri bagi memenuhi keperluan pada tahun 2023. Daripada program dan inisiatif ini, matlamat pihak SMI agar peserta-peserta ini dapat menggunakan Sijil Kemahiran
Malaysia yang diperolehi untuk meningkatkan pendapatan diri sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Parit Yaani, Mengkibol dan Bukit Batu di dalam perbahasannya menyatakan dua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 iaitu Gerak Kerjaya Johor serta Karnival TVET SMI 2023 yang amat diperlukan dan begitu mendesak terutamanya ketika negara sedang bergerak ke aras pemulihan ekonomi yang sebenar. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, kerajaan negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan akan melaksanakan Karnival TVET SMI yang mensasar penglibatan pelajar sekolah dan golongan belia di negeri Johor seramai 1000 orang. Program ini adalah kesinambungan, kesinambungan daripada program-program Jelajah TVET Johor yang telah diadakan pada Ogos yang lalu. Penganjuran Karnival TVET ini bertujuan untuk memberikan pendedahan pendidikan TVET kepada pelajar-pelajar sekolah dan golongan-golongan belia di negeri Johor serta mengilap bakat-bakat kemahiran anak-anak muda Johor. Di samping itu, program ini dapat memberi pemahaman kepada para ibu bapa tentang kebolehpasaran graduan dalam aliran TVET sekali gus menepis persepsi pendidikan TVET adalah pilihan kedua.
Pada tahun 2022, Unit Strategik Modal Insan Johor telah menganjurkan Gerak Kerjaya Johor di tiga lokasi iaitu di Zon Tengah, di Kluang. Di Zon Selatan, di Plaza Angsana Johor Bahru dan di pejabat Unit Strategik Modal Insan Johor. Daripada ketiga-tiga lokasi temu duga itu, seramai 68 penyertaan daripada majikan yang terlibat dengan tawaran kekosongan jawatan sebanyak 6,798 dari pelbagai jawatan dan sektor. Temu duga terbuka ini juga telah pun menarik minat seramai 5,311 orang pengunjung untuk mencari peluang pekerjaan.
Bagi penganjuran Gerak Kerjaya Johor pada tahun 2023 akan dibahagikan juga kepada tiga zon iaitu Zon Utara, di Segamat, di Muar dan di Tangkak. Di Zon Tengah, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Mersing. Manakala di Zon Selatan, di Johor Bahru, Kulai dan Pontian. Gerak Kerjaya Johor 2023 bagi ketiga-tiga zon yang dinyatakan mensasarkan penglibatan majikan sebanyak 100 syarikat dengan penawaran minimum 5,000 jawatan kosong. Daripada program dan inisiatif ini, matlamat pihak Unit Strategik Modal Insan Johor agar pencari-pencari kerja dan masyarakat dapat manfaat peluang yang diperolehi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab persoalan isu-isu belia dan sukan. Isu belia dan sukan juga tidak ketinggalan turut dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan pada sesi kali ini. Menjawab persoalan yang dibangkitkan Yang Berhormat Sri Medan mengenai pentingnya pendedahan golongan muda di Johor kepada pentas politik dan demokrasi selain dicadangkan menganjurkan program mendidik Orang Muda Johor tentang erti demokrasi. Takziah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Sri Medan di atas kemangkatan anak beliau, anak kesayangan Yang Berhormat Sri Medan. Semoga anak beliau ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihi oleh Allah SWT. Amin. Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan yang terus mengambil berat dan mahu melihat pembangunan Orang Muda Johor berada di tahap yang terbaik. Untuk makluman Yang Berhormat menerusi Institut Dato’ Onn ataupun IDO, satu akan diadakan pada tahun ini yang dinamakan Rubrik Naratif Johor yang merupakan sebuah program kerjasama dengan portfolio YB EXCO Pendidikan. Platform ini juga akan memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah tingkatan 5 dan 6 di Johor tentang sejarah pencapaian negeri Johor serta Demokrasi Undi 18, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, Sejarah Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, pencapaian dan pembangunan kerajaan negeri Johor, Institusi Raja Negeri Johor serta etiket dan protokol. Semua pendedahan yang dirancang bertujuan untuk mempersiapkan bakat-bakat terbaik negeri Johor dan memupuk minat-minat untuk berbakti semula di negeri Johor serta kesedaran terhadap kepentingan isu-isu dan maklumat berkenaan negeri Johor. Pelajar terlibat akan lebih cakna terhadap betapanya dan
menariknya negeri Johor berbanding negeri Johor. Untuk pelaksanaan program ini sejumlah RM200,000.00 telah pun diperuntukkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu mengenai persatuan-persatuan belia di kampung dan di daerah semakin dipinggirkan, turut dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sedili. Yang mahukan kumpulan ini dibantu dan disalurkan peruntukan. Terima kasih Yang Berhormat Sedili. Untuk makluman Yang Berhormat Sedili, kerajaan negeri Johor sememangnya memberikan perhatian kepada aktiviti-aktiviti pembangunan persatuan dan buktinya sejak April hingga Oktober tahun ini sebanyak 125 persatuan telah dibantu dengan nilaian bantuan sebanyak RM1.5 juta. Bagi pemerkasaan persatuan sukan pula bantuan disalurkan melalui Majlis Sukan Negeri Johor kepada persatuan-persatuan sukan negeri manakala persatuan-persatuan belia permohonan bantuan terus ke Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor melalui pejabat saya untuk tapisan awal.
Bagi tahun 2023, insya-Allah ianya akan diteruskan dan bantuan akan diberikan kepada persatuan yang memohon mengikut kesesuaian program yang dilaksanakan serta mengikut keperluan serta memberi impak kepada golongan belia, khasnya golongan belia dalam negeri Johor. Walau bagaimanapun, pejabat saya sentiasa memberi sokongan dalam apa sahaja penganjuran yang memberi impak kepada belia dan masyarakat melalui surat sokongan kepada persatuan-persatuan sebagai membantu memudah cara untuk mendapatkan penajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pasir Raja di dalam perbahasannya ada menyatakan permohonan Padang Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab untuk dinaiktarafkan kepada mini stadium termasuk trek olahraga bagi kemudahan sukan olahraga. Untuk makluman Yang Berhormat Pasir Raja, buat masa ini, Kementerian Belia dan Sukan tiada perancangan untuk menaiktarafkan atau membina baru fasiliti sukan mini stadium di Padang Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab. Dari segi fasiliti sedia ada, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih dua gelanggang futsal iaitu gelanggang futsal FELDA Pasir Raja pada tahun 2021 dan gelanggang futsal Kampung Baru Sungai Telur pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, sebagaimana dalam jawapan lisan saya kepada Yang Berhormat Jementah, permohonan untuk pusat sukan atau mini stadium boleh dipanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk pertimbangan lanjut untuk kita sama-sama bawa manfaat kepada negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sukacita saya ingin mengambil perhatian kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya juga ingin merancang dan berikhtiar mensasarkan untuk mewujudkan satu hab permotoran di Bandar Ayer Hitam.
Kat mana eh, kat mana?
Di Bandar Ayer Hitam Datuk Speaker.
Betul, betul, betul, betul (Dewan bertepuk).
Berdasarkan kepada rekod penganjuran masa lalu, Ayer Hitam adalah sebuah pekan yang telah banyak menganjurkan acara sukan pemotoran sebelum ini. Sebelum ianya terhenti sekitar tahun 2018 hingga 2019. Ayer Hitam yang biasa menganjurkan sukan permotoran seperti Cub Prix, Motorcross, Pocket Bike, Mountain Bike dan banyak lagi sehinggakan drift dan juga go-cart. Turut mempunyai rangkaian aktivis serta pencinta sukan permotoran yang pelbagai di sana. Dengan ini, saya akan bersama-sama Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker untuk mengusahakan dan membawa kepada kerajaan negeri bagi berhasrat untuk menghidupkan kembali kemeriahan sukan
permotoran yang telah bermula di situ membabitkan penggunaan tanah seluas 7 ekar kepunyaan Kementerian Dalam Negeri di bawah pentadbiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, yang telah pun membenarkan agar tapak tersebut digunakan untuk manfaat pencinta-pencinta sukan permotoran. Tahniah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Terima kasih, terima kasih, terima kasih, terima kasih.
Insya-Allah, pembinaan yang akan bermula seawal Januari 2023, nanti akan menyemarakkan lagi, menyemarakkan lagi sukan permotoran di negeri Johor bertambah dengan lokasi strategik di Bandar Ayer Hitam yang terletak di Central Of Johor dengan izin, justeru saya mintalah KBS, Majlis Sukan Negeri Johor membantu saya dalam perancangan kali ini untuk memastikan ianya terus tercapai.
Selain itu, saya juga akan memastikan hab-hab sukan yang terletak di Johor Bahru khususnya di kawasan Larkin akan ditambah baik di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Johor dan Majlis Sukan Negeri Johor serta agensi-agensinya agar kelihatan terurus dan penyelenggaraan dijaga rapi supaya tidak menjadi gajah putih.
Saya juga berharap setiap daerah di negeri Johor ini juga akan diwujudkan fasiliti sukan atau hab sukan buat para atlet yang tidak dapat ke Johor Bahru selain adanya Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC). Dengan peranan Sport Johor juga sebagai agensi yang merancang pengajuran sukan bersama Tourism Johor bertaraf local dan antarabangsa. Saya yakin penganjuran acara sukan pada tahun 2023 di Johor dapat dirancakkan lagi.
Cadangan Ahli-Ahli Yang Berhormat juga amat dialu-alukan sekiranya ada penambahbaikan atau pandangan berhubung hasrat untuk menaikkan fasiliti sukan di kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat nanti. Apatah lagi hari ini YB Hannah Yeo saya nampak dia lebih open minded, saya harap fasiliti ataupun bantuan peruntukan di peringkat negeri Johor akan dibawa kelangsungannya di Johor nanti, insya-Allah.
Menjawab soalan dan cadangan yang diajukan oleh Yang Berhormat Parit Yaani, penglibatan belia dalam program sukarelawan serta memperkasakan peranan orang muda Johor dalam masyarakat ke arah keseimbangan pembentukan nilai murni serta keyakinan jati diri belia Johor khasnya. Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli Dewan, kerajaan negeri Johor sememangnya sentiasa memberi fokus dan keutamaan memperkasakan peranan orang muda Johor dalam komuniti masyarakat dan Alhamdulillah ianya diterima baik oleh orang muda Johor.
Pemerkasaan budaya kesukarelawan dalam kalangan belia melalui Southern Volunteer pada tahun 2023 akan lebih rancak lagi, insya-Allah. Dengan pelaksanaan program kesukarelawan yang melibatkan penglibatan 56 kawasan DUN di Johor dengan konsep pembaikan rumah asnaf dan program ini akan berjalan dengan melibatkan belia di kawasan setempat serta penglibatan ADUN, pemimpin setempat. Southern Volunteer melalui pusat pembangunan belia Johor iaitu JOYDEC juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ataupun APM untuk melatih belia dalam menambah nilai pengetahuan tentang persediaan persiapan bencana dan mereka akan mendapatkan pengiktirafan oleh APM Malaysia setelah tamat kursus nanti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ke arah melahirkan pelapis serta membudayakan konsep kesukarelawan dalam kalangan anak muda. Program skuad muda dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan dilaksanakan untuk mewujud Skuad Muda SB di setiap sekolah di 56 DUN. Dan insya-Allah pada masa akan datang, ianya akan diaktifkan
dalam kokurikulum sekolah untuk memastikan budaya sukarelawan ini dapat diterap di kalangan murid-murid sekolah.
Konsep penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawan adalah terbuka walau bagaimanapun pihak pelaksana iaitu JOYDEC akan memastikan penglibatan belia-belia di antara 18 hingga 21 tahun akan diberikan keutamaan dalam setiap program yang dilaksanakan. Insya-Allah, saya dan agensi berkaitan akan sentiasa memperkasakan serta memastikan konsep kesukarelawan ini dijadikan sebagai budaya di kalangan orang muda Johor khasnya dalam mengimbangi pembangunan belia dalam pelbagai aspek pada masa akan datang.
Yang Berhormat Larkin, panjang lagi?
Dah habis dah, nak habis dah. Dua minit. Yang Berhormat, penutup. Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulannya daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan, sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan kepada sesi sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua. Akhir sekali, selaku EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor saya amat berbangga dengan jabatan-jabatan dan pasukan yang berada di bawah Portfolio saya. Dalam keadaan kekangan masa serta kewangan, selain beberapa cabaran lain, mereka tetap terus bekerja tanpa mengenal penat dan lelah. Tahniah kepada warga jabatan kerajaan negeri Johor. Pengorbanan mereka amat dihargai dan saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka semua serta agensi-agensi kerajaan atas kerjasama dan sokongan serta bantuan yang telah diberikan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan sepanjang hampir 10 bulan saya berkhidmat.
Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, saya telah cuba yang terbaik untuk memberikan semua jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang, tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan saya. Semoga segala yang tersimpul dapatlah dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Semangat perpaduan kita tunjukkan, jadi pedoman sepanjang hayat. Belanjawan 2023, kita jayakan, Johor Maju Makmur bersama rakyat (Dewan bertepuk). Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Larkin. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Kelima Belas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih serta Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
Seterusnya, saya ingin merafak sembah ta’zim kepada Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan pasukan Johor Darul Takzim yang telah menjadi pasukan pertama menjulang empat piala dalam satu musim iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia. Syabas
saya ucapkan kepada seluruh pasukan JDT. Selain daripada kejayaan unggul pasukan bola sepak negeri, saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada semua kontinjen Johor yang telah mencipta sejarah buat kali pertama apabila berjaya menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) tahun 2022. Semoga negeri Johor akan terus makmur dan maju di bawah pemerintahan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesempatan ini juga, tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan Yang Amat Berhormat sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10 dan juga di atas pelantikan Barisan Kabinet Kerajaan baru. Saya juga ingin menzahirkan ucapan sekalung tahniah di atas pelantikan Yang Berhormat Datuk Seri Hajah Nancy binti Syukri di atas pelantikan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Semoga kita dapat bersama-sama memperkasakan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia. Saya berharap Kerajaan Perpaduan yang terbentuk daripada PRU 15 kali ini dapat membuka buku baru dengan meletakkan keutamaan dan proses pembangunan negara dan juga kemakmuran rakyat Johor. Di samping itu juga, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor yang diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor di atas pengurniaan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran dan Pembangunan Tanah serta Anugerah Pelajar Terbaik. Tidak dilupakan juga ucapan syabas kepada pegawai-pegawai tadbir negeri Johor yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dalam bidang pengurusan masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pengukuhan institusi keluarga dan pemerkasaan wanita. Pembangunan Rumah Persona Johor. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Skudai di atas keprihatinan terhadap pemerkasaan wanita. Sukacita saya ingin kongsikan di Dewan yang mulia ini, di Johor sehingga kini tiada rumah perlindungan sementara, khususnya untuk wanita mangsa keganasan rumah tangga. Melalui teras jaringan keselamatan sosial, rumah perlindungan wanita atau lebih dikenali sebagai Rumah Persona Johor, telah menjadi agenda utama dan telah dizahirkan melalui pembentangan Belanjawan Johor 2023 pada 1 Disember 2022 yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja awalan Rumah Pesona Johor di daerah Johor Bahru. Seperti yang dinyatakan dalam ucapan amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 14 Jun 2022 yang lalu, kerajaan telah menetapkan sasaran itu menjelang tahun 2027, sebanyak tiga buah pusat perlindungan wanita akan dibina iaitu daerah Johor Bahru bagi zon selatan, daerah Muar bagi zon utara dan daerah Kluang bagi zon tengah.
Program Intervensi keluarga dan Komuniti Mind-X. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Skudai dan Yang Berhormat Putri Wangsa yang telah mencadangkan peruntukan untuk Mind-X dikekalkan sebanyak RM1 juta seperti Belanjawan 2022. Syiling bajet bagi Program Mind-X bagi 2023 telah ditetapkan kepada RM200,000.00 bagi menumpukan Program Outreach yang akan menggunakan Mind-X Caravan yang akan beroperasi sebagai bilik kaunseling bergerak. Program Outreach ini bertujuan mempromosikan perkhidmatan kaunseling percuma dan kesedaran kesihatan mental di kawasan pendalaman dan juga kawasan tumpuan utama. Objektif program ini bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan lebih berkesan dan memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri Johor. Dalam perlaksanaan program iaitu Low Cost High Impact, dengan izin. Walau bagaimanapun, cadangan bagi mengekalkan bajet RM1 juta adalah baik dan akan dicadangkan kepada kerajaan bagi Bajet Tahun 2024.
Yang Berhormat Skudai juga turut mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan sukarelawan-sukarelawan sokongan bagi membantu isu kesihatan mental dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia. Kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim menyambut baik cadangan dalam melibatkan sukarelawan sokongan dari pihak UTM menangani isu kesihatan mental. Untuk makluman,
YPKDT telah berkolaborasi dengan kaunselor-kaunselor negeri Johor dalam perlaksanaan program kesihatan mental di setiap daerah dan juga melalui webinar. Sehingga ini, seramai 240 kaunselor dari negeri Johor telah bersama dalam perlaksanaan program-program di bawah Mind-X. Dalam pada itu, YPKDT dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia juga telah merangka Blueprint Mind-X yang merupakan pelan tindakan perancangan dan perlaksanaan kesejahteraan mental, psikologi dan sosial Bangsa Johor. Melalui teras pemerkasaan sosial, penglibatan sukarelawan dalam menangani masalah sosial adalah diperlukan bagi memupuk nilai altruism secara berterusan supaya masalah sosial ditangani dengan kolektif. Ini membantu meningkatkan tahap kesampaian dan ketercapaian perkhidmatan kaunseling dan intervensi psikologi kepada segenap lapisan masyarakat Bangsa Johor.
Skim khas untuk ibu tunggal. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kemelah telah membangkitkan isu terhadap nasib ibu tunggal yang ingin menjana pendapatan melalui usaha perniagaan untuk keberlangsungan hidup keluarga mereka. Semua jabatan di bawah Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa menyantuni golongan sasar terutamanya wanita. Bagi memastikan nasib ibu tunggal terjamin, Jabatan Pembangunan Wanita melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor amat prihatin terhadap nasib usahawan wanita termasuklah wanita yang berstatus ibu tunggal. Di bawah domain kemahiran, golongan wanita tanpa mengambil kira status, mereka ditawarkan kursus-kursus kemahiran yang boleh meningkatkan nilai tambah dan seterusnya mampu digunakan sebagai punca pendapatan mereka. Pada tahun ini juga, JPW telah memulakan dua program pembangunan-pembangunan usahawan wanita iaitu WeJANA. Program bimbingan dan latihan untuk tujuan memulakan perniagaan kendiri. We-BRIDGE, program bertujuan untuk menghubungkan wanita yang mempunyai perniagaan secara kecil-kecilan di platform e-Commerce sedia ada. Manakala di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga, tiada disediakan skim khas kepada ibu tunggal sebagai permulaan perniagaan. Namun, di bawah pemberdayaan wanita dan golongan sasar, disediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan wanita khususnya di kalangan ibu tunggal untuk menjana pendapatan dalam bidang perniagaan. Salah satu inisiatif tersebut adalah melalui skim bantuan peralatan perniagaan di mana peserta boleh memohon bantuan alat perniagaan tersebut bagi membantu memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. Antaranya, bantuan-bantuan peralatan yang diberikan seperti mesin jahit, oven, chiller, mixer dan sebagainya. Selain itu, YPK juga menjalankan program Projek Skill Menjana Pendapatan Wanita. Menawarkan pelbagai jenis kemahiran kepada golongan wanita termasuk ibu tunggal bagi menggalakkan mereka untuk terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan melalui kemahiran yang diterima. YPKDT juga memperkenalkan program skim permulaan perniagaan iaitu PEMULA. Walau bagaimanapun, program ini dikhususkan kepada golongan belia termasuk belia wanita. Di bawah Program PEMULA ini, peserta akan diberikan kursus kemahiran di beberapa buah pusat latihan kemahiran terpilih dan diberi kit asas permulaan perniagaan kepada peserta setelah tamat latihan. Antara kursus yang pernah dijalankan adalah kursus gunting rambut, kursus solekan, kursus teknologi motosikal dan kursus penyelenggaraan penghawa dingin. Kesemua inisiatif yang disediakan ini diberikan secara percuma kepada peserta.
Seterusnya isu kemiskinan haid di kalangan wanita. Terima kasih kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap isu yang sebenarnya besar dalam negara kita. Kerajaan negeri Johor menyambut baik cadangan Yang Berhormat kerana isu kemiskinan haid ini membabitkan hak asasi kanak-kanak perempuan serta wanita. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor melalui LPPKN atau Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara menyambut baik usaha kerajaan persekutuan dalam mengatasi isu kemiskinan haid seperti dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021 oleh mantan Yang Berhormat Menteri Kewangan Malaysia. Beliau telah mengumumkan program pemberian kit kebersihan asas wanita atau pad sanitari kepada 130,000 remaja perempuan di Malaysia pada tahun 2022. Program pemberian kit asas wanita ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada 10% daripada golongan ini
dalam menangani kemiskinan haid di Malaysia. Di samping itu, program ini juga bertujuan memperkasakan wanita dan remaja perempuan berkenaan menstruasi di samping menyebar luas pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada kumpulan sasar remaja dalam komuniti bandar dan luar bandar. Program pemberian kit SERI, dengan izin, Sosial Empowerment of Reproductive Health Initiatives ini adalah melibatkan dua program utama.
Pertama, pemberian bekalan kit SERI secara berkala selama 12 bulan pada 130,000 orang remaja perempuan di 1,124 buah sekolah di seluruh Malaysia. Pembekalan kit ini akan diedarkan secara terus oleh pembekal kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah terpilih. Di negeri Johor, program ini melibatkan 134 buah sekolah dengan jumlah penerima adalah seramai 15,000 pelajar perempuan. Perlaksanaan Program Pendidikan SERI oleh LPPKN Negeri Johor telah melibatkan 2,000 orang pelajar perempuan daripada 20 buah sekolah menengah dalam negeri Johor. Program ini dijalankan dengan bentuk ceramah dan aktiviti interaktif dalam kumpulan mengenai perkembangan dan kesihatan reproduktif remaja yang positif serta aspek pengurusan kebersihan haid.
Sidang Dewan yang dimuliakan, suka saya kongsikan, selain daripada pemberian pad wanita pakai buang, LPPKN juga turut mengorak langkah dalam mendepani cabaran kemiskinan haid ini dengan mengambil inisiatif melaksanakan Program Pemberian kit SERI Tuala wanita Guna Semula kepada semua remaja perempuan di kalangan B40 seluruh Malaysia yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Sehingga November 2022, seramai 28,000 pelajar perempuan di seluruh negeri Johor telah menerima manfaat dari program pemberian kit SERI.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kadar bantuan JKM. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Panti dan Yang Berhormat Kemelah yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap perubahan kos sara hidup penerima bantuan. Sememangnya kita memahami dan sentiasa memikirkan kaedah-kaedah terbaik bagi memastikan nasib mereka terbela apatah lagi keadaan pada masa sekarang dalam kos sara hidup yang semakin meningkat. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor prihatin dengan senario ekonomi pada hari ini yang berada dalam keadaan mencabar dan tidak menentu. Justeru, JKM komited dalam menyediakan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua kumpulan sasar yang memerlukan. Sebagai kerajaan negeri yang prihatin pada tahun 2021, kadar bantuan am telah dinaikkan daripada RM200.00 sebulan kepada RM300.00 sebulan. Selain dari kadar kenaikan kadar bantuan am, kadar semula berkaitan kadar bantuan kewangan persekutuan juga telah dilaksanakan pada 1 Januari 2021. Kadar bantuan kewangan bulanan JKM telah dinaikkan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Bilangan 10 Tahun 2020. Kenaikan kadar baru bantuan kewangan persekutuan bagi bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua, elaun pekerja cacat, bantuan OKU tidak berupaya bekerja dan bantuan penjagaan OKU, pesakit kronik terlantar adalah seperti berikut:
Elaun pekerja cacat kini dikenali sebagai elaun pekerja OKU daripada RM400.00 sebulan kepada RM450.00 sebulan dengan had kelayakan pendapatan RM1,500.00 sebulan berbanding sebelum ini RM1,200.00 sebulan. Bantuan Kanak-kanak, bantuan maksima dinaikkan daripada RM450.00 sebulan kepada RM1,000.00 sebulan bergantung kepada jumlah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun ke bawah ditetapkan RM200.00 sebulan manakala 6 hingga 18 tahun ditetapkan RM150.00 sebulan. Bantuan Orang Tua kini dikenali sebagai Bantuan Warga Emas dinaikkan daripada RM350.00 kepada RM500.00 sebulan. Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan dari RM250.00 sebulan kepada RM300.00. Bantuan Penjagaan OKU Terlantar Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada RM350.00 kepada RM500.00 sebulan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mengkaji dan menyelaras kembali penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan, PGK iaitu kenaikan daripada RM960.00 kepada RM1,169.00
untuk pendapatan isi rumah manakala pendapatan per kapita telah dinaikkan daripada RM224.00 kepada RM310.00. Kadar kenaikan ini dilaksanakan berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 menerusi edaran Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Bil. 11 Tahun 2021. Penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2019 sebagai syarat pemohon Bantuan Kewangan Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kenaikan ini adalah bagi tujuan membantu kumpulan sasar yang berkelayakan menerima bantuan mengikut skim yang bersesuaian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Karnival OKU Negeri Johor, kerajaan negeri Johor menyambut baik cadangan Yang Berhormat Puteri Wangsa agar kerajaan negeri menganjurkan sebuah karnival khas untuk kumpulan OKU dan kanak-kanak istimewa bukan sahaja OKU fizikal tetapi juga keenam-enam kategori OKU yang diiktiraf di negara kita. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sentiasa berusaha menyantuni pelbagai golongan rentan termasuk golongan OKU agar mereka tidak tercicir dan mendapat tempat terutama dalam menerima manfaat agenda pembangunan kerajaan melalui inisiatif-inisiatif yang disediakan. Kerajaan juga amat menghargai idea-idea dan cadangan untuk membantu memperkasakan golongan OKU. Bagi membantu golongan OKU dan juga keluarga mereka, negeri Johor melalui YPKDT telah melaksanakan pelbagai program antaranya Program Jejak Mari Golongan Sasar OKU pada tahun 2019. Antara pengisian yang telah dilaksanakan dalam program ialah Jualan Bazar Suri OKU.
Selain itu, turut diadakan ceramah berkenaan Pembangunan OKU dan sesi town hall disertai agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, YPKDT, Jabatan Pembangunan Wanita dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara. Selain itu, pemadanan pekerjaan OKU bersama beberapa majikan turut dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung. Penyertaan sangat memberangsangkan daripada pelbagai OKU di seluruh negeri Johor bagi memastikan OKU yang tidak berjaya ditempatkan di pasaran kerja, mereka tidak diketepikan dalam mencari peluang sumber pendapatan. Seiring dengan kurangnya institusi kerajaan mahupun swasta menawarkan latihan dan sebagainya. Adalah wajar YPK sebagai agensi pelaksana di peringkat negeri untuk menyediakan latihan dan latihan kemahiran yang difikirkan bersesuaian mengikut kategori keupayaan bagi memenuhi keperluan khas setiap OKU mendapatkan ilmu dan kemahiran tanpa halangan yang membataskan mereka.
Justeru sebagaimana pengumuman Belanjawan 2023 Johor yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerajaan mengambil serius dalam membela Orang Kurang Upaya antaranya adalah peruntukan Disability Empowerment Enhancement Program dengan izin dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00 kepada OKU dalam pelbagai sektor. Di dalam program ini terdapat tiga inisiatif yang telah dicadangkan. Employer Job Coaching Assistance Skills Training, Kursus Intensif Bahasa Isyarat Malaysia, Disabled Skills And Career Course, dengan izin. Walau bagaimanapun, satu inisiatif di dalam program ini dicadangkan untuk dibawa ke tahun 2024 iaitu Johor Of Person With Disabilities Open Day yang mana program ini merupakan karnival OKU yang akan menyediakan pelbagai pengisian antaranya program kesedaran OKU di mana program ini memberi pendedahan kepada keluarga dan masyarakat berkaitan OKU dari pelbagai aspek. Selain itu, program simulasi OKU yang mendedahkan kepada masyarakat agar merasai kekangan yang dihadapi OKU dengan menggunakan kerusi roda, simulasi cacat penglihatan dan sebagainya agar masyarakat dapat merasai dan menyelami kekurangan yang dihadapi oleh OKU. Di samping itu, pameran kerjaya serta penglibatan majikan yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada OKU juga akan disediakan. Penglibatan pusat-pusat latihan, kemahiran dalam membantu dan memberikan latihan kemahiran kepada OKU juga dilibatkan. Sharing session bersama individu OKU berjaya juga disediakan dalam pengisian program tersebut. Open Day atau karnival ini akan melibatkan pelbagai agensi atau jabatan kerajaan mahupun swasta, NGO dan masyarakat secara keseluruhannya. Justeru, kerajaan amat mengalu-alukan pendapat, pandangan atau buah fikiran dalam bersama-sama
berusaha memastikan golongan OKU ini tidak ketinggalan atau dipinggirkan malah terus diperkasakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya inilah sahaja yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli Dewan Yang Berhormat yang telah melibatkan, memberikan pandangan idea dan cadangan melibatkan jabatan di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Selain daripada itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Datuk Onn Hafiz di atas peruntukan bagi segala inisiatif portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berada dalam Teras Tiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial yang telah dibentangkan pada belanjawan yang lepas. Walau bagaimanapun Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya terdapat persoalan berbangkit yang belum dijawab, saya mohon pihak Yang Berhormat, boleh terus berhubung pejabat saya dan untuk saya dapatkan jawapan secara bertulis. Di kesempatan ini, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ketua jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah portfolio saya yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugas yang dipertanggungjawabkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri penggulungan, izinkan saya mendengarkan serangkap pantun dalam Dewan yang mulia ini. Bangsa Johor berbudi pekerti, berbilang kaum kekal makmur, marilah kita menabur bakti demi kemajuan negeri Johor. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.(Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Serom, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita akan teruskan perbahasan penggulungan kita ini. Kepada mereka yang untuk berehat boleh keluar secara bergilir. Dengan itu saya persilakan Yang Berhormat Tenggaroh, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Kedua Belanjawan 2023, Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di dalam Dewan yang mulia pada petang ini.
Terlebih dahulu izinkan saya untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun keputeraan pada 22 November 2022 yang lalu. Patik turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas pencapaian cemerlang Kelab Bola Sepak JDT sejak bermulanya transformasi pasukan bola sepak negeri hingga kini. Saya turut berasa bangga dengan kejayaan lain yang diraih dalam acara sukan negeri Johor seperti muncul johan keseluruhan Sukan Malaysia, SUKMA 2022. Kecemerlangan Pasukan Bola Jaring Johor Jewels serta Pasukan Sepak Takraw Johor Tigris. Sesungguhnya kesemua kejayaan yang diraih ini telah mengharumkan nama Johor. Semua itu saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas setiap kecemerlangan dalam bidang sukan dengan harapan ia akan berterusan pada tahun mendatang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan 2023 yang bertemakan “Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat”, pada hari Khamis yang lalu. Belanjawan yang selari dengan agenda Maju Johor iaitu impian melihat negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 yang menampilkan 6 teras disertakan dengan dokongan strategi dan inisiatif yang kompak ini, begitu inklusif dan holistik bertepatan
dengan ikhtiar ke arah kestabilan dan kemakmuran. Maka besarlah harapan untuk melihat segala strategi dan inisiatif pada setiap teras dapat direalisasikan dan dijayakan pada tahun hadapan sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka. Tahniah sekali lagi saya ucapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi Persidangan ini saya telah melihat di dalam Dewan yang mulia pelbagai maklum balas yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahu pun teguran yang dilontarkan oleh pihak di sebelah sana mahupun rakan-rakan saya di pihak sini telah saya ambil maklum. Selain itu saya juga telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan. Saya dapati banyak isu-isu yang, isu-isu banjir yang dan juga yang berkait rapat dengan isu pelancongan yang menjadi antara topik utama dalam perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Setiap maklum balas yang diberikan kepada saya, saya akan menerima dengan berlapang dada dan sukacita saya untuk menjawab soalan-soalan tersebut pada petang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya akan menyentuh isu perbahasan di bawah Teras 2, Kemajuan Ekonomi Strategi 3 iaitu Memperkasa Industri Pelancongan. Yang Berhormat Endau, Tenang dan Gambir semasa perbahasan ada menyentuh berkenaan kebimbangan dan hasrat supaya peruntukan Belanjawan Johor 2023 berkaitan pelancongan disalurkan di kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, penyediaan peruntukan belanjawan tahun ini berdasarkan permohonan dan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan. Kemudian peruntukan belanjawan ini akan diperincikan mengikut keutamaan dan keperluan serta sumber kewangan kerajaan negeri. Peruntukan belanjawan yang telah diluluskan pula akan dipantau prestasi pelaksanaan secara berkala bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Saya hanya akan membuat penyelarasan semula peruntukan belanjawan ini sekiranya ada keperluan atau terdapat mana-mana projek atau pun program yang telah dirancang tapi tidak dapat dilaksanakan pada tahun berkenaan. Saya juga ingin menyarankan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini supaya dapat mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan sekiranya mempunyai cadangan berkaitan permohonan peruntukan pembangunan pelancongan di kawasan Yang Berhormat.
Yang Berhormat Bukit Kepong ada membangkitkan perancangan kerajaan negeri dalam penganjuran acara-acara pelancongan di negeri Johor pada tahun 2023. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Tourism Johor kini di dalam proses menyiapkan dan mencetak takwim acara pelancongan negeri Johor 2023. Acara-acara pelancongan tahun 2023 akan dipromosikan secara berterusan di sepanjang tahun 2023 bermula seawal Januari 2023. Antara acara-acara yang dikenal pasti ialah Majestic Johor Festival, Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang, Tunku Laksamana Charity Golf, Ironmen Le’Tape, Desaru International Bike Way, Nusantara Festival dan Makan Festival. Selain itu Bukit Kepong turut menyatakan daerah Muar sebagai salah satu destinasi kunjungan pelancongan. Untuk makluman Yang Berhormat, di daerah Muar mempunyai Hutan Taman Negeri Paya Gambut di mana tempat ini merupakan satu-satunya hutan paya gambut di negeri ini dan memiliki potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan ekopelancongan. Pembangunan Hutan Simpan Air Hitam Utara sebagai Hutan Taman Negeri Paya Gambut yang memperkasakan konservasi alam sekitar, ekopelancongan dan penglibatan komuniti setempat adalah merupakan satu potensi hutan simpan ini diangkat sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi. Dan penyelidik biodiversiti untuk utama di daerah Muar dan negeri Johor. Kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah menyediakan infra asas seperti jalan masuk, dewan terbuka, amphitheater, gazebo, jeti dan kemudahan tandas bagi tujuan kemudahan pengunjung dan pelawat. Perancangan dan pembangunan jangka panjang secara teliti bagi taman-taman negeri ini telah diterjemahkan melalui Pelan Induk Pembangunan Taman Negeri Air Hitam Utara yang disediakan melalui kerjasama Universiti Putra Malaysia tahun 2022 hingga 2024. Kekuatan rangkaian penglibatan komuniti
setempat dalam proses pembangunan dan pengurusan hutan ini juga merupakan pemangkin kepada ekopelancongan yang berteraskan alam sekitar dan perkembangan limpahan ekonomi setempat.
Yang Berhormat Panti memohon supaya dinaik taraf infra pelancongan di Gunung Muntahak dan Gunung Panti. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah mengambil kira pembangunan dan naik taraf infra pelancongan di Gunung Muntahak dan Gunung Panti yang terletak di dalam kawasan pengurusan khas Hutan Simpan Panti yang dikenali sebagai Panti Conservation Area. Pada tahun 2023 sejumlah RM300,000.00 telah diluluskan oleh kerajaan negeri di bawah Belanjawan Negeri Johor bagi tujuan penaik taraf kemudahan infra di kawasan Panti Conservation Area. Perancangan dan pembangunan kawasan Panti Conservation Area ini telah di dokumentasi dalam Pelan Induk Pembangunan Panti Conservation Area yang telah disediakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2020. Dengan adanya perancangan jangka panjang ini adalah diharapkan agar Panti Conservation Area akan menjadi ikon ekopelancongan yang strategik bagi daerah Kota Tinggi dan negeri Johor.
Seterusnya, bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Kukup mengenai keadaan terkini status Pulau Kukup setelah sekian lama tutup dan bilakah perancangan akan dibuka?
Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, status Taman Negara Johor, Pulau Kukup adalah ditutup kepada pelancong bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan di sekitar kawasan Pulau Kukup. Penutupan ini disebabkan oleh kerosakan yang agak kritikal dan tidak dapat, tidak selamat digunakan oleh pelancong yang melibatkan 11 komponen iaitu papan lantai laluan pejalan kaki, boardwalk dengan izin, sepanjang 750 meter, papan lantai di empat pelantar iaitu pelantar terapung, pelantar berongan, pelantar pavilion dan pelantar pokok besar, papan lantai di jambatan masuk, papan lantai di jambatan keluar, papan lantai di sekitar signage Pulau Kukup, papan lantai di spiderman groove, papan lantai di interactive mark play dan papan lantai Jeti Sungai Ulap. Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang dilantik dan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bermula 1 September 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 April 2023. Bagi penyelesaian jangka masa pendek, Perbadanan Taman Negara Johor mencadang untuk mendapat pandang teknikal daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor bagi cadangan reka bentuk jeti sementara berserta kos pembinaan jeti tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tenang menanyakan apakah perancangan negeri Johor dalam mempromosi tempat-tempat pelancongan di Labis seperti Kayu Hanyut, permainan gasing tradisonal serta ternakan kancil dan kijang, Cabin Hills Eco Resort dan Sunrise Farm. Untuk makluman pada tahun 2023, kerajaan negeri melalui Tourism Johor serta agenda-agensi berkaitan akan meneruskan dan memperhebatkan serta mempelbagaikan lagi kempen promosi pelancongan negeri Johor. Ini termasuklah di kawasan YB Tenang. Antara perancangan kerajaan negeri pada tahun 2023 adalah memperhebatkan kempen promosi melalui di dalam pameran pelancongan dalam mahupun di luar negara. Mempergiatkan kempen melalui media sosial, media Tourism Johor dan media massa, memperkasakan aplikasi GTI, memperbanyakkan penganjuran acara atau program pelancongan, memperbanyakkan program farm trip dan menerbitkan risalah pelancongan daerah.
Yang Berhormat Penggaram menyarankan kerajaan negeri memandangkan ecotourism di mana rakyat telah berminat untuk berkunjung ke tempat-tempat yang mempunyai keindahan alam semula jadi. Tidak dinafikan bahawa pelancongan alam semula jadi atau ecotourism dengan izin, kini menjadi salah satu tarikan pelancongan di kalangan pelancong domestik termasuk bangsa di Johor.
Saya menyambut baik cadangan Yang Berhormat Penggaram agar mewujudkan pas bermusim sebagai salah satu langkah bagi memudahkan proses pendaftaran dan menggalakkan lebih ramai pelancong domestik datang ke destinasi pelancongan alam semula jadi yang terdapat di negeri ini. Walau bagaimanapun perkara ini perlu diperhalusi dan dibincangkan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan pandangan sebelum dilaksanakan.
Yang Berhormat Pulai Sebatang mencadangkan agar Sungai Pulai Sebatang ini sebagai satu kawasan pelancongan yang baharu dan masukkan juga hak kerang-kerangan Pulai Sebatang ini sebagai satu produk agropelancongan yang baharu untuk kerajaan negeri Johor. Semasa lawatan saya ke daerah Pontian, saya telah berkesempatan untuk melawat Sungai Pulai Sebatang dan saya dapati ia mempunyai potensi untuk dijadikan salah satu tarikan pelancongan alam semula jadi atau pelancongan pertanian di daerah Pontian kerana mempunyai keunikan yang tersendiri dan melibatkan aktiviti komuniti setempat. Kerajaan negeri melalui Tourism Johor akan memasukkan Sungai Pulai Sebatang ini di dalam senarai produk pelancongan negeri Johor. Malah Tourism Johor juga telah mula mempromosi kawasan ini di dalam media sosial Tourism Johor. Namun begitu beberapa perlu dibuat penambahbaikan antaranya ialah isu air pasang surut, kemudahan infrastruktur dan aspek keselamatan.
Yang Berhormat Penawar mencadangkan agar lebih banyak lagi penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa alan diadakan dan ia boleh menjadi salah satu daya tarikan untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri Johor amnya dan Penawar khususnya. Sememangnya pelancongan sukan dilihat terus menjadi salah satu penyumbang di dalam mempromosi produk pelancongan negeri Johor serta menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negeri ini. Ini terbukti dengan penganjuran acara-acara kejohanan sukan bertaraf nasional atau antarabangsa. Menyedari perkara ini, maka kerajaan negeri melalui pelbagai agensi berkaitan akan meneruskan serta menggalakkan lebih ramai penganjur acara sukan sama ada di dalam atau di luar negara untuk memilih Johor sebagai lokasi penganjuran acara sukan mereka. Saya juga mengambil maklum dan menyambut baik saranan Yang Berhormat Penawar berkaitan penambahbaikan keindahan serta pencahayaan di kawasan tumpuan pelancong. Untuk makluman Yang Berhormat Penawar, Majlis Perbandaran Pengerang dalam penambahbaikan dan pencahayaan dengan penggunaan lampu jenis LED sepenuhnya. Majlis Perbandaran Pengerang juga komited dalam usaha untuk tiang-tiang decorative bagi menarik pelancong dengan menghiasi laluan-laluan utama khususnya kawasan pelancongan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selesai menjawab isu berkaitan sektor pelancongan. Kini saya beralih bagi menjawab isu perbahasan di bawah teras lima, Keselamatan, Kebersihan Dan Kelestarian Alam Sekitar. Strategi dua iaitu Pemeliharaan dan Pemuliharaan dan strategi tiga iaitu Memperkasa Johor Lestari. Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Perling, Yang Berhormat Sungai Balang, Yang Berhormat Puteri Wangsa, Yang Berhormat Penggaram membangkitkan isu penyelesaian banjir yang berpunca daripada isu perubahan iklim, kebersihan dan juga mencadangkan pengurusan banjir secara menyeluruh dan perlu diberikan lebih keutamaan. Faktor perubahan iklim memberi kesan kepada corak banjir kilat, banjir pantai dan juga kemarau. Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan telah mengambil beberapa langkah proaktif sebagai persediaan untuk berhadapan dengan fenomena tersebut. Untuk banjir kilat pada tahun 2021, JPS telah menambah baik dokumen hidro logikal prosedur nombor satu bertajuk Estimation Of Design Rainstorm In Peninsular Malaysia dengan izin, dokumen ini adalah dokumen rujukan utama bagi pemaju-pemaju pembangunan tanah di dalam mereka bentuk sistem saliran bagi tujuan kelulusan kebenaran merancang. JPS juga menyiapkan pelan induk saliran mesra alam bagi kawasan Tebrau atau Plentong dan juga bagi kawasan Pengerang.
Pelan induk bagi kawasan Johor Bahru sedang di pohon di dalam Rolling Plan Ke-3 tahun 2023. Kesemua pelan induk ini akan menjadi rujukan utama Pihak Berkuasa Tempatan bagi
menaik taraf sistem saliran dalaman. Untuk kawasan pertanian Johor Barat di daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar, kerajaan telah pun menyiapkan laporan akhir yang mana elemen perubahan iklim juga telah diambil kira dalam menyediakan cadangan-cadangan mitigasi banjir termasuk banjir termenung.
Bagi kenaikan aras laut Pelan Persisiran Pantai Bersepadu Bagi Johor Timur yang mengambil kira kenaikan aras laut telah pun disiapkan pada tahun 2021. Pelan Persisiran Pantai Bersepadu Bagi Johor Barat telah pun dilaksanakan pada tahun 2010, akan dimohon untuk dibuat kajian semula di dalam Rolling Plan Ke-3 bagi mengambil kira kesan kenaikan aras laut. Pelan-pelan ini akan menjadi rujukan kepada pemohon kebenaran merancang di kawasan persisiran pantai. Bagi meningkatkan keberkesanan Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Negeri Johor, sejumlah RM19 juta telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan. Projek yang sedang berjalan ini dan dijangka siap pada awal tahun 2024 akan menaik taraf 140 stesen hidrologi dan akan membina baharu sistem hidrologi di 100 lagi lokasi.
Bagi fenomena kemarau, JPS sedang melaksanakan National Water Balance Study bagi Sungai Muar, Kesang, Johor dan Sedili Besar bagi memastikan sumber air mencukupi di setiap lembaran tersebut. Selanjutnya, peruntukan inisiatif pembinaan projek bagi mengelakkan hakisan pantai akan diteruskan dengan permohonan di bawah Rolling Plan Ke-4 2024. Bagi memastikan kelancaran operasi ketika musim banjir yang dijangka akan berlaku pada hujung tahun ini, JPS akan sentiasa memberi kerjasama dalam menyediakan data hujan, aras air sungai bagi kegunaan semua agensi yang berkaitan sebagai persediaan bagi kemungkinan kejadian yang berlaku.
Jabatan juga akan sentiasa peka dengan memberi amaran kepada semua Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah jika berlaku kejadian hujan lebat dan air pasang besar yang boleh menyebabkan risiko banjir. Selain itu, pihak IRDA juga telah menghasilkan Climate Risk Variability Assessment melalui Low Carbon Society Blueprint for Iskandar Malaysia 2030. Climate action plan di dalam Climate Risk Variability Assessment ini mendapati terdapat tiga kesan bahaya utama terhadap fenomena perubahan iklim iaitu banjir, kenaikan paras air laut dan hakisan pantai. Oleh yang demikian bagi memastikan Johor khususnya kawasan Iskandar Malaysia bersedia menghadapi risiko banjir, bencana banjir sebanyak 6 cadangan pelan tindakan dikenal pasti sebagai mana berikut:-
1. Menggalak pelaksanaan konsep bandar span 2. Melaksanakan langkah-langkah kawalah berstruktur untuk kawasan berisiko tinggi. 3. Melaksanakan pusat ramalan dan amaran banjir di Johor. 4. Mengembangkan sistem tersediaan krisis untuk komuniti di setiap Pihak Berkuasa Tempatan. 5. Menggalakkan integrasi infrastruktur hijau dalam pembangunan bandar dan 6. Mengemas kini peta bahaya banjir untuk kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Yang Berhormat Sungai Balang melahirkan keresahan penduduk berkenaan hakisan yang agak kritikal di pantai-pantai di kawasan Sungai Balang seperti di Pantai Parit Penyengat, Pantai Seri Menanti dan Pantai Tanjung Pekong. Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan pantai barat khususnya di kawasan benteng Pantai Seri Menanti, Muar mengalami masalah hakisan pantai sejak tahun 90-an sehingga sekarang. Ia telah menyebabkan berlakunya hakisan pantai dan menyebabkan kerosakan pada benteng yang dibina. Namun begitu pihak kerajaan telah mengambil langkah pembaikan dari semasa ke semasa dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM10 juta. Bagi penambahbaikan benteng pantai dan benteng batu di kawasan tersebut. Bagi RMK-12 juga peruntukan sebanyak RM8 juta telah dipohon untuk pelaksanaan pada tahun 2023 yang akan datang.
Yang Berhormat Tangkak, ada membangkitkan status terkini projek menaik taraf Sungai Mati dan Sawah Ring yang telah di umum. Untuk makluman Yang Berhormat Tangkak, peruntukan yang dimaksudkan telah dilaksanakan melalui projek membina dan menaik taraf
infrastruktur pengairan dan saliran di Skim Pengairan Pulau Penarik dan Skim Saliran Serom daerah Ledang, Johor. Di bawah peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Projek ini terletak di Parlimen Ledang dan DUN Gambir. Kos projek adalah sebanyak RM8.74 juta, projek ini telah bermula daripada November 2019 dan dijangka siap pada 2023. Status fizikal projek adalah 90% siap, skop projek ini adalah melibatkan kerja-kerja menaik taraf tali air sebanyak 21 tali air di Skim Pengairan Sawah Ring dan 4 tali air di Skim Pengairan Pulau Penarik termasuk pembinaan sebuah rumah pam baharu di Skim Pengairan Pulau Penarik. Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 727 orang petani di Sawah Ring dan 11 orang petani di Pulau Penarik dengan menyalirkan sumber air yang lebih konsisten bagi keperluan pengairan.
Yang Berhormat Datuk Speaker seterusnya menjawab persoalan Yang Berhormat Senggarang mengenai membaik pulih rumah pam air di Kampung Parit Hailam dan Kampung Sungai Ayam, pintu air Sungai Ayam telah dibaiki dan pam bergerak telah di tempat buat sementara waktu bagi langkah jangka pendek. Kerja menaik taraf pintu tersebut akan dilaksanakan di bawah Projek Saliran Mesra Alam Sungai Suluh Fasa 2, kerja menaik taraf pintu air Sengarang pula akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun 2023.
Akhir sekali adalah berkaitan agenda rendah karbon. Pemanis membangkitkan keseriusan kerajaan negeri untuk meneroka potensi pasaran karbon. Untuk maklumat Yang Berhormat Pemanis, pasaran karbon dilihat sebagai salah satu inisiatif yang diiktiraf di peringkat global bagi mengekang pelepasan gas rumah hijau yang lebih banyak. Oleh yang demikian kerajaan negeri melihat Johor berpotensi terlibat dalam perkara ini. Namun begitu, kajian yang mendalam haruslah dilaksanakan terlebih dahulu supaya ianya memberi impak yang maksimum terhadap kerajaan negeri dan rakyat amnya.
Selain itu, kerajaan negeri turut melihat keperluan bagi mengharmonikan inisiatif kerajaan persekutuan yang akan di jadual akan dilancarkan hujung tahun ini melalui Instrument Voluntary Carbon Market. Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah sahaja yang dapat saya sampaikan bagi sesi penggulungan kali ini. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah memberi pandangan dan cadangan yang melibatkan jabatan di bawah portfolio Pelancongan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ketua jabatan dan kakitangan jabatan di bawah portfolio saya yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugas yang dipertanggungjawabkan. Semoga segala yang tersimpul dapat diuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan, akhirnya marilah kita rapatkan saf dalam erti kata yang sebenar. Berbeza pendapat di luar tetapi bersatu hati di dalam demi Johor yang kita sayangi. Sebelum saya akhiri ucapan saya izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun. Kepada YB yang ikhlas berbakti, memperhebat kesejahteraan Johor tugas diberi, marilah bersama bersatu hati, memastikan agenda Maju Johor sampai ke destinasi. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk.).
Terima kasih YB Tenggaroh. Dijemput Yang Berhormat Bukit Permai, Pengerusi Jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu izinkan saya untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan ucapan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim, sempena ulang tahun keputeraan pada 22 November 2022 yang lalu, patik bersama sekalian warga Bukit Permai berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian Kerabat Di Raja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat wal afiat bagi menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor.
Patik turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas pencapaian cemerlang dengan izin, trio hat-trick yang berjaya dirangkul oleh kelab bola sepak JDT. Kita sebagai rakyat Johor bukan sahaja bangga mempunyai Tunku Mahkota Johor yang bijaksana, berjiwa rakyat dan disayangi rakyat. Patik turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang telah dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baru. Manakala Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor pula telah dilantik sebagai Pro Canselor UTHM yang baru. Semoga kepimpinan dan kewibawaan Tan Sri selaku ketua perkhidmatan awam negeri sewajarnya menjadi suri teladan kepada seluruh penjawat awam khususnya Pegawai Tadbir Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar atas pembentangan Bajet Johor 2023 yang bertemakan Maju Johor : Makmur Bersama Rakyat pada hari Khamis yang lalu. Belanjawan yang selari dengan Agenda Maju Johor iaitu impian melihat Negeri Johor sebagai negeri maju dalam tahun 2030 yang menampilkan enam teras disertakan dengan dukungan strategi dan inisiatif yang inklusif dan holistik. Bertepatan dengan ikhtiar ke arah kestabilan dan kemakmuran. Maka, besarlah harapan untuk melihat segala strategi dan inisiatif yang di setiap teras dapat dijayakan pada tahun hadapan sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka. Tahniah sekali lagi saya ucapkan. Selamat datang kepada Puan Hajah Norani Zakaria bersama rombongan di atas sana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Tempatan merupakan kerajaan ketiga selepas kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Isu-isu di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan merupakan isu yang begitu dekat dengan kehidupan rakyat. Saya bersama pasukan SUKKT yang diterajui oleh Encik Mohamad Farid bin Kassim serta tiga Datuk Bandar dan 13 Yang Dipertua juga barisan Ketua Whip dan Ahli Majlis komited untuk memastikan segala isu..
Yang Berhormat Bukit Permai kita beri laluan kepada seruan azan.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan.)
Bukit Permai.
Saya bersama pasukan SUKKT yang diterajui oleh Encik Mohamad Farid bin Kassim serta 3 Datuk Bandar dan 13 orang Yang DiPertua juga barisan Ketua Whip dan Ahli Majlis komited untuk memastikan segala isu dapat ditangani secara maksimum. Bagi isu melibatkan perancangan bandar dan desa, saya sentiasa bersama Pengarah Plan Malaysia Negeri Johor, Tuan TPR Saidin bin Lateh untuk memastikan perancangan yang seimbang untuk rakyat Johor. Saya merakam jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu berkaitan Kerajaan Tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selaras dengan aspirasi Yang Berhormat Menteri Besar Johor di mana aspek kebersihan merupakan salah satu teras utama dalam memastikan pembangunan negeri Johor dipacu berlandaskan aspirasi yang komprehensif ini objektif Johor Bersih dilaksanakan untuk menjadikan negeri Johor sebagai sebuah negeri yang paling bersih di Malaysia dan memupuk budaya menjaga kebersihan di kalangan rakyat negeri Johor khususnya. Menyedari kepentingan usaha tersebut pemerkasaan aspek kebersihan telah dapat dijayakan melalui beberapa tindakan drastik dan bersasar merujuk kepada agenda kebersihan antaranya Majlis Pelancaran Johor Bersih Peringkat Negeri yang telah diadakan serentak di 16 PBT seluruh negeri Johor pada 2 Julai 2022.
Beberapa teras perkhidmatan diberi perhatian khusus bagi memastikan aspirasi ini terlaksana dengan konsisten. Antaranya ialah aspek kebersihan persekitaran, penyelenggaraan kemudahan awam dan landskap, penyelenggaraan infrastruktur, aktiviti pruning serta aspek kreativiti. Program Johor Bersih di 16 PBT yang melibatkan 384 zon Ahli Majlis telah diadakan serentak pada 22 Oktober 2022 dengan penglibatan 10,000 orang komuniti setempat. Program ini akan berterusan dan perlu menjadi agenda utama setiap PBT Negeri Johor bagi memastikan pelaksanaannya dijalankan sepanjang masa. Bersih itu indah, bersih itu anugerah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif Johor Kulai Fast Lane (KFL) telah dilaksanakan sepenuhnya pada Mei 2022 yang diterajui oleh Tuan Haji Natazha bin Hariss, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai. Objektif bagi pelaksanaan Kulai Fast Lane adalah sebagai panduan kepada agensi teknikal dalaman dan luaran, dengan izin Principle Submitting Person atau PSP dan pemaju turut serta dalam perancangan pemajuan industri yang ingin dilaksanakan secara pantas dan tangkas bermula daripada sebelum kelulusan pelan hingga bangunan siap di tapak, seterusnya kebenaran beroperasi dalam masa yang singkat melalui gabungan proses di peringkat kelulusan pelan, CCC dan lesen operasi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 25 Ogos 2022, melalui mesyuarat JPN 06/02/2022 telah bersetuju inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) dipanjangkan ke semua PBT Negeri Johor untuk pemakaian bagi pemajuan industri atau pemajuan tertentu mengikut kesesuaian Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dikenali sebagai Johor Fast Lane. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Johor Fast Lane adalah berlandaskan kepada kriteria, pemilihan lokasi industri terancang dan tersusun yang sedia ada. Insya-Allah, 6 PBT Negeri Johor akan terlibat dalam inisiatif Johor Fast Lane ini pada tahun 2023. Dalam bahasa yang mudah, proses documentation permohonan pemajuan industri bermula daripada permohonan Kelulusan Kebenaran Merancang Pembinaan, sehingga ke kelulusan CCC dan Lesen Operasi, yang mengambil masa lebih 12 bulan dapat disingkatkan kepada 4 bulan sahaja. Telah termaktub sejak berzaman, Johor masyhur permata selatan, negeri damai makmur dan aman, mari bersama jaga keselamatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam merealisasikan ke arah The Greater Johor Bahru, bagi menyelesaikan isu-isu keselamatan yang menjadi keutamaan di semua PBT. Bagi sektor pemerkasaan PBT berkaitan keselamatan yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Asman Shah Bin Abd Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Selain daripada penambahan CCTV di kawasan lokasi tumpuan rakyat, pusat pelancongan dan pusat-pusat perniagaan, PBT juga telah mengadakan projek inisiatif kawasan Blackspot Johor Selamat yang merupakan projek untuk mengurangkan kadar kes jenayah. Johor Selamat telah dilancarkan pada 13 Ogos 2022 bertempat di Plaza Angsana Johor Bahru dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia.
Dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Yang Berhormat Menteri Besar Johor menyatakan inisiatif Pemasangan Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak RM5.25 juta telah diperuntukkan bagi projek pemasangan CCTV berteknologi AI di kawasan hotspot jenayah dan kawasan tumpuan pelancongan dengan anggaran pemasangan sebanyak 1,158 unit CCTV di dalam kawasan The Greater Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu proses permohonan dan kelulusan lesen perniagaan di PBT Negeri Johor sering kali dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini. Lanjutan daripada itu, telah diwujudkan Sektor Pemerkasaan Lesen PBT Negeri Johor yang di ketuai oleh Puan Norliyati binti Md. Nor, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang. Objektif bagi sektor pemerkasaan ini adalah :
1. Bagi mempermudahkan proses permohonan lesen dan mengurangkan birokrasi serta penyeragaman proses permohonan dan pembaharuan lesen di setiap PBT dalam
negeri Johor.
2. Tempoh kelulusan permohonan lesen akan lebih singkat seterusnya perniagaan dapat beroperasi dengan kadar segera mengikut peruntukan undang-undang yang telah berkuat kuasa.
Selaras dengan objektif itu, Majlis Perbandaran Kulai telah menganjurkan Bengkel Penyelarasan Proses Permohonan Lesen PBT Negeri Johor pada 3 sehingga 5 Julai 2022 di Desaru melibatkan 16 PBT di Negeri Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor atau BPEN, Majlis Kerajaan Tempatan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia atau MPC Johor.
Seterusnya pada 9 November 2022, melalui ringkasan mesyuarat Bil. 1344/2022, Pihak Berkuasa Negeri atau PBN telah bersetuju dengan menambah baik proses permohonan lesen perniagaan di PBT Negeri Johor.
Pelaksanaan penambahbaikan proses permohonan lesen perniagaan ini diberi keutamaan kepada dua jenis lesen yang utama iaitu Lesen Penjaja dan Lesen Perniagaan Tidak Berisiko. Tempoh kelulusan bagi Lesen Penjaja Statik dan Lesen Perniagaan Tidak Berisiko hanya mengambil masa satu hari bekerja untuk kelulusan. Lesen penjaja sementara dan lesen penjaja bergerak seperti food truck kelulusan dalam 7 hari bekerja.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana isu yang telah dibangkitkan berkenaan hotspot banjir atau banjir kilat, Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa memastikan infrastruktur seperti sistem saliran, kolam tadahan dan perangkap sampah diselenggarakan dengan baik. Bagi keseluruhan negeri Johor, terdapat 130 hotspot banjir yang dikenal pasti. Antaranya, di Majlis Bandaraya Johor Bahru sebanyak 36 kawasan hotspot banjir dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang sebanyak 8 kawasan hotspot banjir. Manakala bagi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Perbandaran Kulai masing-masing sebanyak 6 kawasan hotspot banjir. Baki sebanyak 74 kawasan hotspot banjir adalah melibatkan lain-lain PBT.
Mesyuarat penyelarasan hotspot banjir telah dijalankan sebanyak tiga kali. Pertemuan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad bagi mengenal pasti isu dan punca masalah, cadangan penambahbaikan dan agihan peruntukan bagi pengurusan hotspot banjir dan banjir kilat di negeri Johor khususnya di kawasan PBT. Pelan Tindakan kawalan banjir bagi jangka pendek dan jangka panjang telah diwujudkan dan diselaraskan di 16 PBT berkenaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, The Greater Johor Bahru merupakan inisiatif kerajaan dalam mewujudkan kerjasama strategik antara Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai yang menjadi teras kepada pembangunan negeri Johor amnya dan Johor Bahru khasnya. Inisiatif ini diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru. Majlis pelancaran dan menandatangani Deklarasi Persefahaman ‘The Greater Johor Bahru’ dijadualkan akan diadakan bersama-sama pelancaran Blueprint Bandar Pintar Negeri Johor 2030 pada suku ketiga tahun 2023.
Yang Berhormat Datuk Speaker, memiliki sebuah kediaman menjadi impian setiap Bangsa Johor. Sebagai Kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi dan suara rakyat, pastinya menyediakan rumah kepada golongan B40 dan M40 menjadi agenda utama kerajaan hari ini. Justeru, Kerajaan Negeri Johor melalui PKPJ yang dipimpin oleh YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman sentiasa cakna untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa serta mampu disewa atau dibeli bagi memenuhi keperluan dan permintaan tempat kediaman semua golongan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah. Matlamatnya, tidak lain tidak bukan adalah untuk memperbaiki mutu
kehidupan rakyat di setiap pelosok negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merakamkan jutaan terima kepada YB Perling, Sungai Balang, Bukit Kepong, Panti, Tangkak, Bukit Naning, Senggarang, Johor Bahru, Endau, Johor Jaya, Endau, Kemelah, Maharani, Kota Iskandar dan Sedili yang telah membahaskan isu perumahan di negeri Johor. Penghargaan ikhlas daripada saya kepada semua yang telah memberi cadangan dan pandangan, syor dan rujukan serta idea dan teguran. Hari ini saya akan menggulung isu-isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak minggu pertama saya sebagai EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya melihat ramai rakyat yang menunggu dan beratur untuk berurusan di pejabat Perumahan Johor. Bila disapa, mereka hadir untuk menghantar dokumen secara manual untuk memohon Rumah Mampu Milik Johor dan permohonan rumah PPR. Saya membayangkan jika mereka ini adalah ibu bapa kita, ahli keluarga kita, adik beradik kita yang datang daripada jauh, terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk menghantar dokumen permohonan.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan yang dimuliakan sekalian, rentetan daripada itu, saya dan pasukan PKPJ telah melihat semula sistem penyampaian perkhidmatan kita. Dari situlah bermulanya rejuvenasi keseluruhan sistem penyampaian perumahan di PKPJ. Oleh itu, dalam masa kurang dari 3 bulan saya dan pasukan telah melaksanakan satu perubahan yang drastik terutamanya berkaitan inisiatif penyampaian perkhidmatan atau dikenali sebagai quick win dalam menambah baik kaedah dan tatacara penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya Bangsa Johor. Hasil daripada itu, dulu, rakyat perlu beratur panjang di luar kaunter, sekarang tidak lagi. Dulu, rakyat dari segenap negeri dari Segamat, Tangkak, Mersing dan Kukup perlu datang ke Kota Iskandar untuk menghantar dokumen permohonan rumah secara manual, sekarang tidak lagi. Dulu, permohonan PPR, rakyat perlu sediakan 23 dokumen, sekarang tidak lagi, hanya 6 dokumen. Dulu, permohonan rumah mampu milik, rakyat perlu sediakan 17 dokumen seperti antaranya laporan-laporan CCRIS daripada Bank Negara, bukti penyata simpanan kewangan 10% daripada harga rumah yang dipohon, surat akuan kelayakan pinjaman daripada bank, semakan status pemilikan harta dan banyak lagi. Sekarang hanya tinggal 5 dokumen. Dulu, untuk menyediakan 23 dokumen untuk permohonan PPR atau 17 dokumen bagi RMMJ, pemohon perlu membelanjakan kos anggaran RM300.00 setiap permohonan, sekarang tidak lagi. Kerana semua urusan boleh dibuat di dalam talian dan minimum zero cost dan tidak ada kos permohonan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai contoh, kita menawarkan 117 rumah mampu milik di Batu Pahat. Dari jumlah tersebut, PKPJ telah menerima 8,000 permohonan. Selepas proses saringan, seramai 5,218 permohonan yang layak. Bayangkanlah sekiranya 8,000 orang ini datang ke PKPJ untuk menghantar dokumen permohonan dengan setiap orang secara purata perlu membelanjakan kos RM300.00, maka rakyat Johor perlu membelanjakan kos RM2.4 juta bagi setiap projek perumahan. Ini menjadi kos tersembunyi kepada rakyat atau hidden cost.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sepanjang tempoh perbahasan belanjawan kali ini juga, antara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan adalah berkaitan penawaran Rumah Mampu Milik Johor seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan 1 Disember yang lalu. Menyasarkan pembinaan kira-kira 21,139 unit rumah untuk siap disempurnakan pada tahun 2026 iaitu dalam tempoh 5 tahun. Saya dan pasukan PKPJ sedar bahawa angka 21,139 unit ini adalah tidak mencukupi untuk 56 DUN dan 10 daerah di negeri Johor. Tetapi untuk sesebuah kawasan dibangunkan rumah mampu milik bukan hanya perlu melihat demand atau permintaan, tetapi juga perlu ada pemaju yang mempunyai perancangan pembangunan di sesebuah kawasan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan sahabat saya YB Kota Iskandar, ada membangkitkan isu Rumah Makmur Johor. Untuk maklumat Yang Berhormat, isu Rumah Makmur Johor sedang diteliti oleh pihak Bahagian Perancang Ekonomi Johor iaitu BPEN bagi mencari way out dengan izin, yang bersesuaian. Insya-Allah perkara ini akan diberi keutamaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang dan Kemelah ada membangkitkan isu skim pembiayaan untuk rakyat memiliki rumah. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada keprihatinan Yang Berhormat mengenai perkara ini. Saya tidak nafikan, inilah yang antara masalah utama yang menghantui rakyat yang ingin membeli rumah. Saya ingin berkongsi kisah benar seorang rakyat Johor bernama Zakiah, merupakan graduan lulusan Sarjana yang telah menerima Sijil Layak Memiliki Rumah. Tetapi hampir sahaja melepaskan sijil tersebut kerana gagal mendapat pinjaman bank. Bukan satu, tetapi empat bank telah menolak permohonan beliau. Inilah realitinya. Hasil semakan daripada pihak bank, adalah lebih mudah meluluskan kepada seorang individu yang memohon pinjaman RM420,000.00 berbanding dengan 10 orang yang memohon pinjaman bank dengan nilai RM42,000.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dari kisah ini, kami sedar ekosistem perumahan Johor tidak boleh terhenti hanya dengan menyediakan dan menawarkan rumah semata-mata. Tetapi kerajaan perlu melihat kepada kemudahan pembiayaan kepada bakal pembeli seperti Zakiah. Oleh itu, sebuah platform yang dikenali sebagai Johor Housing Centralize Financial Assistance telah diwujudkan sebagai one stop centre bagi membantu mereka memperolehi pembiayaan dengan mudah. Ini akan melibatkan institusi kewangan, firma guaman, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta para pemaju di bawah satu platform bersama bakal pembeli.
Bukan itu sahaja, pihak PKPJ juga telah menjalin kerjasama strategik bersama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat dan Bank Rakyat. Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada tiga bank ini kerana meletakkan kepentingan rakyat, kepentingan rakyat berbanding keuntungan. Berdasarkan rekod kami setakat hari ini, terdapat empat projek yang terlibat dengan kerjasama dengan SJKP dan tiga institusi kewangan ini. Hasilnya, sebanyak 85% telah berjaya mendapat kelulusan pinjaman bank dengan sekali permohonan dalam masa 7 hari.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada masa lagi? Dah tipis? Ok. Saya nak beri laluan kepada sahabat saya. Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kalam, di ruang dan kesempatan ini saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf bagi pihak Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, Setiausaha Kerajaan Tempatan, 16 PBT seluruh Johor dan Plan Malaysia kerana kepada Bangsa Johor sekiranya terdapat ketidaksempurnaan tugas dan perkhidmatan kami. Kami akan sentiasa berusaha memberi yang terbaik untuk Bangsa Johor. Saya juga sekali lagi merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah sini dan di sebelah sana yang sentiasa peka terhadap isu perumahan dan kerajaan tempatan demi rakyat. Kita sebagai yang telah diamanahkan tidak ada sehari pun dalam hari kita ini, tidak memikirkan masalah dan kesusahan rakyat. Semoga kita sebagai Ahli Yang Berhormat, di depan menjadi teladan, di tengah membangun kekuatan, di sisi saling bergandingan, di belakang memberikan dukungan. Teguh, tenang, pandang, fikir, tadbir dan ambillah iktibar. Bertawaduk kepada Allah, disayangi, dipercayai, diyakini segenap rakyat atas segala usaha. Kepada Allah jua kita berserah, Allah berkati Johor, Allah pelihara Sultan. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Amin, amin, amin, terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai. Dijemput Yang Berhormat Buloh Kasap, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker, saya sekali lagi bangun untuk membuat penggulungan bagi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. Pertamanya Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu. Daulat Tuanku. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2023 pada 1 Disember yang lalu dengan tema, “Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat”. Insya-Allah saya dan rakan-rakan akan bersama-sama Yang Amat Berhormat menggembleng seluruh tenaga dan berganding bahu bagi memakmurkan negeri Johor bagi mencapai hasrat Negeri Maju Menjelang 2030.
Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bicara ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyentuh dan membangkitkan isu-isu berkaitan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar negeri Johor termasuk juga cadangan-cadangan yang dilontarkan antaranya yang Berhormat Skudai, Benut, Sungai Balang, Panti, Bukit Kepong, Pemanis, Bukit Naning, Permas, Senggarang, Pasir Raja, Tenang, Endau Kemelah, Sedili, Gambir, Pulai Sebatang, Bukit Batu, Parit Raja, Penawar, Kempas, Mengkibol, Jementah, Layang-Layang dan Tiram. Dalam merencana pembangunan ke arah mencapai hasrat Negeri Maju Menjelang 2030, dasar-dasar serta pendekatan baharu dan segar diperlukan bagi pembangunan ekonomi yang mampan. Ini termasuklah dalam konteks jaminan Agenda Jaminan Bekalan Makanan yang sentiasa menjadi keutamaan dalam hala tuju pembangunan negeri Johor.
Berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2021, pertumbuhan sektor pertanian adalah pada kadar 0.6% iaitu sumbangan sebanyak RM17 bilion, subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar iaitu sebanyak 68.5% atau RM11.6 bilion, penyumbang kedua terbesar adalah subsektor ternakan iaitu sebanyak 25.5% atau RM4.33 bilion, dan ketiga adalah subsektor perikanan iaitu sebanyak 5.7% atau RM0.96 bilion.
Status negeri Johor sebagai pengeluar utama hasil pertanian negara bagi beberapa komoditi akan terus diperkukuhkan. Manakala bagi komoditi yang berpotensi dan bernilai tinggi akan dibangunkan. Sebagai pelengkap bagi seluruh perantaian nilai bekalan makanan, komoditi-komoditi tersebut akan sentiasa ditambah baik atau dipertingkatkan dari segi value added atau nilai tambah produknya. Ia selari dengan hasrat Johor untuk berperanan sebagai food basket bagi Malaysia dan food bank kepada negara-negara serantau. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah mengumumkan tujuh inisiatif di bawah strategi lima, teras kedua ekonomi bagi memperkasa industri makanan. Pada tahun 2023 kerajaan negeri akan memperuntukkan RM12.9 juta kepada tiga jabatan iaitu Jabatan Pertanian sebanyak RM10 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebanyak RM2 juta dan Jabatan Perikanan sebanyak RM1 juta.
Untuk makluman Ahli Dewan, bagi merancakkan lagi pembangunan sektor pertanian di negeri Johor, peruntukan tersebut akan disokong juga oleh peruntukan-peruntukan daripada kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertanian dan agensi-agensi berkaitan. Berdasarkan rekod tahun 2022, jumlah keseluruhan peruntukan pelbagai sumber sama ada daripada negeri atau persekutuan bagi pembangunan sektor pertanian di negeri Johor menerusi lapan jabatan dan agensi adalah berjumlah lebih kurang RM60 juta. Ianya adalah bagi pelaksanaan 149 program dan projek pembangunan dan telah memberi manfaat secara langsung kepada lebih 18,000 orang pengusaha dalam pelbagai subsektor.
Yang Berhormat Speaker, kolaborasi, bagi mengukuhkan produktiviti dan keterjaminan bekalan makanan kerajaan akan mengeratkan lagi kerjasama strategik antara pihak kerajaan menerusi agensi-agensi yang berkaitan dengan pihak pemain industri swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC.
Sebagaimana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Benut mengenai memperhebatkan usaha secara Public-private Partnerships atau PPP atau kerjasama awam dan swasta dalam pembangunan sektor pertanian di Johor, ianya selari dengan pendekatan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor. Memang tidak dinafikan bahawa di Johor terdapat banyak syarikat-syarikat besar yang menjalankan sektor pertanian agro makanan. Persoalannya bagaimana pendekatan pihak kerajaan untuk meningkatkan lagi penglibatan dan kebersamaan big player ini membangunkan sektor pertanian di Johor. Ia juga telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Layang-layang menerusi program yang dinamakan Kolaborasi atau Mentor-Mentee.
Sehubungan itu, melalui Jabatan Pertanian Negeri Johor, Program Kolaborasi ini, iaitu usaha sama antara syarikat peneraju dan pengusaha kecil atau sederhana merupakan salah satu contoh pendekatan Public-Private Partnership atau PPP tadi yang diketengahkan oleh kerajaan negeri bagi memperkasa sektor pertanian di negeri Johor, termasuk syarikat-syarikat peneraju dan pengusaha di kawasan Simpang Renggam dan Kluang.
Program ini merupakan satu platform bagi membina jaringan kerjasama untuk meningkatkan daya saing hasil pertanian tempatan dengan pendekatan win-win situation dari segi jaminan harga, jaminan bekalan dan jaminan pemasaran, jaminan berkualiti produk, serta perkongsian kepakaran dan pengalaman. Untuk rekod, pada tahun 2022, program ini telah memberikan manfaat kepada 81 pengusaha dan insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan program ini pada tahun hadapan.
Selain itu pada tahun hadapan, menerusi Public-private Partnerships ini antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor dengan sebuah syarikat iaitu All Cosmos Industrial Sdn. Bhd., yang mana syarikat ini telah bersetuju untuk memperuntukkan RM500,000.00 bagi pelaksanaan Program Kolaborasi atau Mentor Mentee dengan pengusaha-pengusaha pertanian tempatan. Kebaikan menerusi pendekatan ini juga adalah pihak syarikat peneraju dapat berkongsi kebitaraan masing-masing kepada pengusaha kecil dan sederhana di bawahnya. Dengan contract farming yang wujud, pengusaha dapat memperluaskan ruang pemasaran mengikut kapasiti syarikat peneraju yang sememangnya terbuka luas. Bagi menyokong program ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM600,000.00 yang akan memberi manfaat kepada syarikat peneraju dan pengusaha kecil dan sederhana untuk tahun 2023.
Simpang Renggam dan Kluang berpotensi sebagai Hab Pertanian seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Benut dan Layang-Layang. Untuk rekod, daerah Kluang menghasilkan 1.06 juta liter susu atau 15.4% pengeluaran susu dalam negeri Johor pada tahun 2021. Dari segi ternakan ruminan, Kluang menyumbang lebih 15% atau 25,285 ekor pengeluaran daripada keseluruhan negeri Johor. Dari segi sumbangan pengeluaran ayam pedaging, Kluang menghasilkan 16.7% atau 65,237.32 metrik tan dan menyumbang 14.5% atau 329 juta biji telur setahun. Selain itu, daerah Kluang juga menempatkan beberapa pusat latihan institut pertanian seperti Institut Veterinar Malaysia dan fasiliti Projek Pertanian Moden, Kluang yang memberi kelebihan kepada daerah tersebut sebagai pengeluar utama bekalan makanan dalam negeri ini. Insya-Allah, dari semasa ke semasa, segala potensi dan kelebihan ini akan terus diperkasa dan diperhebatkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sungai Balang, Bukit Naning dan Parit Raja atas perhatiannya dalam usaha untuk membangunkan Industri Asas Tani atau IAT. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri sememangnya memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya dalam
usaha menaikkan sektor Industri Asas Tani di negeri Johor. Tidak hanya menumpukan kepada golongan petani, penternak dan nelayan, kerajaan negeri menerusi pelbagai agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan sebagainya turut memainkan peranan di dalam memperkasakan usahawan pemprosesan makanan atau usahawan Industri Asas Tani (IAT). Sebagai contoh, setiap tahun kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor untuk membantu meningkatkan pengeluaran dan pendapatan usahawan IAT. Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM4,965,310.00 yang telah memberi manfaat kepada 180 orang usahawan IAT. Antara insentif atau program yang dijalankan adalah pembinaan dan menaik taraf bengkel pemprosesan makanan, perolehan mesin, perkakasan dan peralatan IAT, perolehan teknologi termasuk sistem IOT, penambahbaikan pembungkusan produk, research & development (R & D) dan seminar, latihan dan kursus IAT.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pemanis dan Mengkibol juga telah menyarankan tentang penggunaan teknologi dan pemodenan dalam sektor pertanian. Bagi mendepani Revolusi Industri 4.0, pihak kerajaan turut tidak ketinggalan menyediakan kerangka dan strategi kepada para petani untuk bersiap sedia menghadapi perubahan teknologi. Melalui transformasi pembangunan pertanian, modenisasi bidang pertanian dirangka bagi menjamin bekalan makanan dan bahan mentah serta menjana pendapatan lebih tinggi dalam kalangan usahawan tani dan pekebun kecil. Pertanian moden dan bernilai tinggi telah dikenal pasti sebagai aktiviti pertumbuhan ekonomi utama pembangunan sektor pertanian. Pengenalan teknologi dan inovasi seperti penggunaan mekanisasi dan automasi dalam pengurusan ladang, penggunaan teknologi maklumat IOT, drone dan aktiviti pertanian serta pembangunan R&D dapat membantu bagi meningkatkan pengeluaran hasil tani. Ianya akan membantu petani, penternak, nelayan dan usahawan tani di sepanjang rantaian nilai agro makanan sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga buruh, mengurangkan beban kerja, menjimatkan masa dan yang paling penting adalah meningkatkan produktiviti.
Selain itu, bagi memperhebatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian, kita perlu mengubah mentaliti daripada konsep pertanian tradisional kepada pertanian moden. Jabatan turut menyalurkan bantuan promosi dan latihan untuk menggalakkan mereka mengamalkan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya pendapatan mereka. Banyak insentif-insentif baharu yang diketengahkan bagi tujuan pemilikan mekanisasi serta pengurusan projek yang lebih cekap dan melahirkan pertanian moden ini. Antara teknologi yang diketengahkan pada masa kini adalah penggunaan drone bagi tujuan pemantauan projek serta penggunaan drone bagi kerja tujuan semburan input baja dan racun. Di Johor, ianya sedang diperluaskan terhadap pelbagai aktiviti pengeluaran tanaman terutamanya tanaman nanas dan sawah padi. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor pada tahun 2022 juga telah memberikan bantuan drone kepada 4 usahawan pertanian secara matching grant. Selain daripada itu, penggunaan mekanisasi juga amat digalakkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing, selain pengurusan projek yang lebih produktif. Sebagai contoh pada tahun ini, kerajaan negeri telah menyampaikan 42 unit traktor di bawah peruntukan pemilikan mekanisasi kepada petani yang terpilih. Pada tahun 2023, kerajaan negeri merancang untuk memperuntukkan RM900,000.00 bagi memperkasakan inisiatif ini.
Yang Berhormat Bukit Kepong, Tenang, dan Mengkibol juga telah membangkitkan cadangan tentang penggunaan tanah milik kerajaan yang belum dibangunkan untuk pelaksanaan aktiviti pertanian agro makanan. Umumnya, kerajaan amat menggalakkan cadangan ini dan ianya selaras dengan penekanan kerajaan bagi mengoptimumkan sumber tanah bagi tujuan pertanian agro makanan. Bagi tujuan tersebut, pemohon yang telah mengenal pasti tanah yang dicadangkan, boleh terus merujuk ke pejabat tanah daerah bagi mengenal pasti status dan hak milik tanah tersebut dan seterusnya membuat permohonan pajakan tanah untuk tujuan aktiviti pertanian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Pulai Sebatang dan Gambir atas keprihatinannya yang telah membangkitkan tentang bantuan kepada pengusaha tani yang terjejas akibat bencana. Untuk makluman, kerajaan persekutuan menerusi Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan ada menyediakan bantuan kepada pengusaha yang terjejas sama ada yang menjalani aktiviti tanaman atau penternakan, nelayan, agro pelancongan dan pengusaha Industri Asas Tani (IAT). Bantuan adalah berbentuk input pertanian atau peralatan mengikut kadar yang ditetapkan bagi membantu pengusaha memulakan kembali aktiviti pertanian mereka. Untuk makluman, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM584,257.60 pada tahun ini bagi membantu petani atau penternak yang terkesan bencana. Ianya termasuklah bantuan kepada 82 orang pesawah di daerah Tangkak dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM92,802.60.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain memperkasa peranan FAMA, kerajaan negeri juga melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor akan memfokuskan bagi memperkasa peranan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian atau PPHP sebagaimana yang disarankan oleh Yang Berhormat Mengkibol, Bukit Naning dan Tenang. Umumnya, di Johor terdapat 28 PPHP atau Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian sedia ada, termasuklah di PPK Kluang, PPK Bakri dan PPK Labis. Ianya akan diperkasakan secara berfasa dan antara aspek yang menjadi penekanan adalah dari segi usaha untuk menaik taraf fasiliti peralatan automasi pemprosesan, fasiliti penyejukan dan penyimpanan bagi menjamin kuantiti serta kualiti produk pertanian. Untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan RM2.7 juta bagi menaik taraf 6 PPHP di negeri Johor. Ianya termasuk:
1. PPK Batu Anam dengan nilai RM850,000.00 2. PPK Sri Medan dengan peruntukan RM850,000.00 3. PPK Pengerang dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00 4. PPK Parit Sulong dengan nilai RM400,000.00 5. PPK Bukit Gambir dengan nilai RM200,000.00 6. PPK Ledang Tangkak dengan nilai RM100,000.00
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Benut, Sungai Balang, Pemanis, Senggarang, Tenang, Gambir, Pulai Sebatang, Kempas, Tiram yang telah membangkitkan perkara-perkara berkaitan institusi Ketua Kampung. Untuk makluman Ahli Dewan, kontrak penjawatan ketua kampung semasa akan tamat pada 31 Disember 2022. Insya-Allah kerajaan negeri akan melaksanakan pelantikan Ketua Kampung yang baharu pada bulan Disember ini dan akan bermula sesi Januari 2023. Umumnya, kadar elaun semasa Ketua Kampung di negeri Johor adalah berjumlah RM900.00 iaitu terbahagi kepada dua sumber peruntukan, RM500.00 daripada kerajaan pusat dan RM400.00 daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju dengan beberapa Ahli Yang Berhormat untuk mengkaji semula elaun ketua-ketua kampung ini. Cadangan ini telah pun dibincangkan di peringkat persekutuan (Dewan bertepuk) melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada bulan Julai dan Ogos yang lalu. Namun, selepas berlakunya perubahan kerajaan persekutuan selepas PRU-15, kerajaan negeri akan sekali lagi membawa cadangan tersebut kepada kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun di Johor, kita kekal di bawah pentadbiran kerajaan yang sama. Justeru, bagi pihak jawatankuasa ini, saya menyerahkan budi bicara dan keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk menyatakan pendirian kita di pihak kerajaan negeri untuk membuat keputusan mengenai cadangan kenaikan kadar elaun ketua kampung di peringkat negeri.
Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas inisiatif Belanjawan Johor 2023 bagi memperkasa institusi dan meningkatkan profesionalisme ketua kampung dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00. Untuk itu, kerajaan negeri akan merangka kursus-kursus yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap profesionalisme ketua-ketua kampung dalam negeri Johor serta memberi sokongan kepada
ketua kampung yang bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke Diploma Eksekutif seperti yang dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Kerajaan negeri mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Panti, Bukit Kepong, Pemanis, Kemelah, Sedili, Parit Raja dan Penawar berkaitan dengan isu FELDA. Antara perkara yang dibangkitkan termasuklah isu pemilikan tanah lot generasi kedua FELDA, penyediaan infrastruktur asas dan perkara-perkara lain terutama yang berkaitan dengan generasi kedua FELDA. Untuk itu, Jawatankuasa ini bersetuju seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Pemanis untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Bertindak di peringkat negeri Johor. Jawatankuasa ini nanti akan meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan FELDA terutamanya berkaitan dengan generasi kedua FELDA.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Skudai, Panti dan Senggarang atas keprihatinan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor pada tahun 2022 telah memperuntukkan RM4,513,690.00 yang melibatkan 11 program pembangunan masyarakat Orang Asli. Seperkara lagi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Skudai, adalah berkaitan Orang Asli, jawapan daripada Jabatan Perhutanan adalah jabatan tiada halangan bagi masyarakat Orang Asli untuk mencari sumber rezeki berupa rotan, damak dan sebagainya melalui hasil hutan selagi tidak menceroboh hutan untuk dijadikan kawasan baru.
Kerajaan melalui Jabatan Orang Asli (JAKOA) sentiasa melihat kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli termasuk kerjasama strategik antara agensi-agensi berkaitan Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Untuk rekod, untuk makluman, tahun 2023, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM452,000.00. Untuk Pembangunan Modal Insan Masyarakat Orang Asli dan Pembangunan Kampung Orang Asli Sejahtera.
Secara keseluruhannya, pembangunan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar akan terus diberi perhatian yang tinggi oleh kerajaan negeri menerusi portfolio ini.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan pelbagai isu semasa Persidangan Dewan ini yang saya kira amat penting untuk diberi perhatian. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan menerusi penggulungan ini tidak dapat menjawab semua persoalan secara terperinci. Sekiranya, terdapat persoalan yang kurang diperjelaskan, Ahli-Ahli Yang Berhormat bolehlah merujuk kepada pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas tersebut secara bertulis atau menerusi sesi perbincangan dari semasa ke semasa.
Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), ketua-ketua jabatan dan agensi serta para pegawai terutamanya di bawah portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tahun 2022 ini, termasuk semua pihak yang terlibat di lapangan. Semoga kerjasama ini dapat kita teruskan pada tahun hadapan. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa yang berjaya menamatkan penggulungan pada hari ini. Terima kasih saya juga tidak terhingga kepada atas kesabaran Ahli-Ahli Yang Berhormat hingga ke penghujung Sidang.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada hari Ahad, 11 Disember 2022. Ahli-Ahli yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari Ahad, 11 Disember 2022, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.12 petang.