Johor · 16 March 2023

2nd session, 1st meeting · 5 turns · 1,869 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini. Bagi membolehkan kita menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku di hadapan Tangga Agung Bangunan ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 10.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 9.30 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 10.15 pagi.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula.

Sukacita saya memaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat masuk sebentar lagi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Jurutulis

Ampun Tuanku, Mufti Negeri Johor mohon perkenan membaca doa.

DOA PEMBUKAAN PENGGAL PERSIDANGAN. (Mufti Negeri Johor baca doa).

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri.

DYMM Sultan Johor : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad semulia-mulia Rasul dan para sahabatnya sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada pagi ini.

Saudara saudari sekalian, pada 2 minggu lalu yang lepas, negeri Johor telah ditimpa bencana banjir yang sangat besar dan sampai hari ini, masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya terutama di daerah Batu Pahat. Saya ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat saya yang terpaksa berhadapan dengan musibah banjir yang sangat mencabar ini, saya harap mereka sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi ujian dan dugaan ini.

Banjir yang berlaku kali ini adalah berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa, iaitu hampir 2 kali ganda banyaknya daripada purata hujan bulanan. Malah jumlah hujan yang turun selama 2 hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac 2023 telah melebihi rekod jumlah hujan sebulan. Secara keseluruhan, banjir kali ini telah merekodkan seramai 74,453 orang mangsa. Daripada 26,376 keluarga di semua 10 daerah dan melibatkan sebanyak 379 pusat pemindahan sementara.

Suka saya merakamkan ucapan penghargaan kepada semua petugas yang telah bekerja bertungkus-lumus siang dan malam untuk membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan dan keperluan harian, alatan pembersihan dan yang paling penting adalah bantuan tenaga sukarela yang datang dari seluruh pelosok tanah air. Saya amat berbangga dengan semangat bekerjasama dan bantu-membantu yang diberikan tanpa mengira kaum atau agama. Inilah budaya hidup masyarakat kita yang mesti dipertahankan ibarat aur di tebing, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Tidak lupa juga saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan pusat yang memberikan peruntukan kewangan segera bagi meringankan beban mangsa banjir serta meluluskan projek Tebatan Banjir di daerah Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat untuk dilaksanakan segera. Selepas bencana ini berakhir, saya harap kerajaan pusat akan memberikan peruntukan khas untuk membaik pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang telah musnah.

Saya juga menyeru kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir agar mereka dapat membaiki rumah yang telah rosak dan menggantikan perabot dan alatan rumah yang telah musnah. Janganlah kita ini jadi kedekut sangat, masalah banjir ini juga telah, adalah kesan daripada perubahan iklim dunia. Oleh itu, saya menggesa kepada semua Bangsa Johor, supaya membudayakan amalan mesra alam menjadi kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Saudara-saudari sekalian, setelah genap 1 tahun Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor dipilih dan dilantik, saya boleh katakan yang saya berpuas hati dengan tingkah laku dan peranan yang telah dijalankan oleh setiap Ahli Dewan. Tetapi, selepas ini janganlah dibawa semula

perangai lama yang jelek dan tidak senonoh supaya tidak perlu saya sebut lagi. Jangan jadikan Dewan ini seperti apa. Setiap Ahli Dewan harus sentiasa menjaga imej, tingkah laku, kerana gelaran Yang Berhormat kenalah sesuai dengan orangnya.

Saya juga berpendapat, gelaran pembangkang yang diberikan kepada Ahli Dewan di pihak bukan kerajaan adalah kurang sesuai. Kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan, mereka bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati, namun begitu, janganlah pula ada sikap balas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja. Saya juga tiada masalah dengan pihak pengimbang kerajaan, mereka boleh menghadap saya dan berikan pendapat atau idea mereka. Saya sangat berharap keadaan politik yang stabil ini terus dikekalkan dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan negeri Johor.

Suka saya memantau prestasi kerja Menteri Besar dan Ahli-Ahli EXCO Kerajaan, setakat ini saya lihat mereka telah bekerja dengan baik dan sempurna. Walaupun, ada yang kurang pengalaman mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kebolehan mereka. Kalau tidak faham tentang sesuatu perkara mereka bolehlah datang dan tanya saya. Pegawai-pegawai Tadbir Negeri juga ada untuk membantu melicinkan segala tugas dan menyelaras segala program yang hendak dibuat.

Saudara-saudari sekalian, pengurusan kewangan kerajaan adalah perkara penting yang selalu saya tekankan kerajaan, mesti mempunyai kewangan yang kukuh dan tidak menanggung hutang yang banyak. Syabas saya ucapkan kepada pihak kerajaan yang telah berjaya merekodkan lebihan hasil pada tahun lepas berbanding baki defisit pada tahun sebelumnya. Walaupun lebihan itu tidak besar, sekurang-kurangnya kita tidak belanja lebih dari hasil yang kita kutip. Saya harap prestasi kewangan kerajaan akan lebih baik pada tahun ini. Kerana aktiviti pembangunan ekonomi dilihat semakin rancak, terutama dalam sektor pembangunan hartanah dan industri. Setiap jabatan mesti patuh kepada arahan perbelanjaan dan berhemah dan langkah berjimat cermat serta pastikan semua perolehan dibuat dengan telus, cekap dan mengikut konsep value for money. Panjang lagi ini.

Saudara-saudari sekalian, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Anuar Ibrahim yang telah mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Bajet 2023 untuk menaik taraf Lebuh raya Utara – Selatan, dari Yong Peng ke Senai kepada lapan lorong. Kalau boleh daripada Gemas lah, buat apa separuh jalan? Kerajaan pusat juga akan menyediakan lorong memotong di Lebuh raya Senai – Desaru. Daripada Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang merupakan satu-satu lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol. Saya juga berharap agar bajet pembaikan jalan persekutuan akan disalurkan untuk membaiki Lebuh raya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru ke Mersing yang berlubang-lubang dan merbahaya kepada pengguna jalan raya. Habis rim kereta saya pun bengkok.

Saya juga menyahut baik cadangan kerajaan persekutuan yang mewujudkan zon khas kewangan di kawasan Iskandar Malaysia yang akan menarik lebih ramai pelabur untuk menjalankan perniagaan di Johor Bahru. Sokongan dan bekerjasama yang padu antara kerajaan negeri dan persekutuan saya percaya Johor akan maju membangun dan semua rakyatnya akan hidup sejahtera. Tahniah juga saya ucapkan kepada kerajaan kerana berjaya meletakan semula kedudukan negeri Johor di tangga nombor 1 bagi pelaburan tertinggi yang diluluskan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion. Namun begitu nilai pelaburan yang diluluskan ini belum lagi terlaksanakan projeknya. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama memberikan perkhidmatan yang cekap, tanpa ada red tape supaya pelabur boleh memulakan perniagaan mereka dengan segera. Jangan melambat-lambatkan segala urusan kerajaan.

Saudara-saudari sekalian, ingin saya ingatkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan, agar memastikan setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan berbukit atau tanah tinggi mesti mengekalkan bentuk muka bumi atau topografi asal tanah itu seberapa yang boleh. Pihak pemaju tidak wajar dibenarkan untuk meratakan permukaan tanah kesemuanya, jika kerja pemotongan bukit perlu dibuat ianya mesti dikawal dan dilakukan secara minima. Saya harap semua Datuk Bandar dan Yang DiPertua selidik dahulu betul-betul sebelum meluluskan semua pelan kerja tanah. Mulai sekarang, saya menggesa semua Majlis agar tidak meluluskan sebarang Kebenaran Merancang (KM) jika pemaju tidak menyediakan laluan perjalanan kaki dan lorong berbasikal di dalam pelan layout mereka. Highway bukan untuk berbasikal.

Saudara-saudari sekalian, sejak dari dahulu lagi kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di Johor. Dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka. Kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka. Namun begitu, saya merasa kecewa apabila segelintir Orang Asli yang membuka kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran. Saya percaya ada orang luar yang menjadi dalang di dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan. Malah ada juga yang cuba menuntut kawasan rayau yang tidak masuk akal. Kalau hendak ikutkan, awak semua dalam Dewan ini pun banyak tempat merayau. Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan mereka juga wajib patuhi kepada undang-undang yang ada pencerobohan hutan adalah salah dan Orang Asli juga tidak terkecuali. Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi kehidupan liar. Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan kesemua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Sultanate Land, supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati. Jangan sampai pisang berbuah dua kali mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok.

Saudara-saudara sekalian, ingin saya tegaskan di sini bahawa mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di dalam negeri Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Semua Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor melalui Pejabat Kadi Daerah dan nyatakan mengenai tajuk dan perkara yang akan disampaikan. Sekiranya ada mana-mana masjid atau surau yang gagal mematuhi peraturan ini maka semua Ahli Jawatankuasanya akan diambil tindakan dan dipecat.

Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng atau terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri Johor. Keadaan ini juga adalah untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu. Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah-sekolah dan di pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan.

Last page, saudari-saudari sekalian, akhir kata sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai-Pegawai Daerah, para petugas, sukarelawan serta semua pihak terlibat dalam membantu mangsa banjir di negeri Johor. Semoga bencana ini segera beransur pulih dan kehidupan rakyat yang selesa dan sejahtera dapat dikecapi semula. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negeri Johor terus maju membangun

dengan aman dan makmur, dijauhi daripada segala bala bencana agar seluruh rakyatnya dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bahagia.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Penggal Kedua bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke 15. Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Speaker

Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke 15.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan berangkat meninggalkan Dewan ini ke bilik rehat DiRaja dan seterusnya berangkat ke Dewan Banquet untuk majlis santapan. Dijemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian beredar ke Dewan Banquet. Maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga hari Ahad, 19 Mac 2023, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 10.50 pagi.