Johor · 19 March 2023
2nd session, 1st meeting · 102 turns · 32,315 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya, sempurnalah sudah Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Kelima Belas oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari Khamis, 16 Mac 2023.
Dengan ini, Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertitah, supaya kita Ahli-Ahli Yang Berhormat menjaga imej dan tingkah laku, kerana gelaran Yang Berhormat mestilah sesuai dengan apa yang kita tuturkan dan yang kita lakukan. Jadilah pengimbang kerajaan yang berwibawa, berilah idea dan cadangan yang konkrit, bukan mencari kesalahan kerajaan semata-mata. Terima kasih.
Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 1 dan 2 Tahun 2023.
Bilangan 1 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Tabung Amanah Warisan Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Bilangan 2 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Tabung Amanah Warisan Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 3 Tahun 2023.
Bilangan 3 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 4 Tahun 2023.
Bilangan 4 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Taman Negara (Johor) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 5 Tahun 2023.
Bilangan 5 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Islam Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Soalan Lisan.Questions
Yang Berhormat Johor Jaya, dijemput.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.
Apakah usaha kerajaan negeri, pelan jangka panjang dan pelan jangka pendek bagi menangani masalah banjir yang berlaku pada 28 Februari 2023.
Saya jemput, Yang Berhormat Mengkibol.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.
Memandangkan banyak daerah di dalam negeri Johor yang terjejas dengan bencana banjir pada tahun ini, berapakah bajet tambahan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri bagi JPS dan peruntukan jalan bagi memastikan bencana ini dapat ditangani?
Saya jemput, Yang Berhormat Parit Raja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3 dan nombor 4.
Minta dinyatakan usaha kerajaan negeri dan persekutuan untuk menaik taraf sistem saliran dalam usaha menangani isu banjir terutama berdepan dengan perubahan iklim yang telah memberi kesan kepada rakyat pelbagai lapisan umur serta mengganggu aktiviti rutin dan sosioekonomi.
Minta nyatakan usaha pihak kerajaan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir dalam keadaan perubahan iklim dunia.
Saya jemput, Yang Berhormat Bukit Batu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 5.
Berapakah jumlah dana yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada NADMA untuk menyelaras operasi dan bantuan di kawasan terjejas akibat banjir di negeri Johor?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh Parit Raja, Mengkibol, Johor Jaya dan Bukit Batu mengenai bencana banjir yang melanda negeri Johor secara bersekali. Seperti yang kita semua sedia maklum, bermula 28 Februari tahun ini, Johor diuji dengan satu ujian yang cukup besar, di mana lebih 85,000, maaf Datuk Speaker, rehal pun terkejut. Di mana lebih 85,000 rakyat Johor menjadi
mangsa banjir kali ini. Melihat kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka, kerosakan harta benda, kereta, perabot, kebun, ladang, jalan, bahu jalan, malah ada yang terkorban.
Hancur hati ini apabila kita turun untuk menghulurkan sedikit bantuan, bagi kita meringankan beban yang dihadapi oleh mereka. Bayangkan, bagaimana perasaan ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah hari ini, dalam keadaan serba-serbinya tak cukup. Bayangkan juga, bagaimana perasaan mereka yang berada di Batu Pahat, yang risau mungkin terpaksa berada di PPS dalam bulan Ramadan yang hampir menjelma. Sesungguhnya, kerajaan negeri, ingin merekodkan dalam Dewan yang mulia ini, ucapan simpati yang tidak terhingga kepada mangsa-mangsa banjir ini. Kerajaan negeri tidak pernah berpejam mata ataupun berpeluk tubuh demi untuk terus membantu semua mangsa-mangsa banjir di Johor ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada kesempatan ini juga, izinkan patik bagi pihak kerajaan negeri Johor, menzahirkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor; Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor; Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleda binti Bustamam, serta Paduka-Paduka Anakanda, atas perkenan mencemar duli, menziarah mangsa-mangsa banjir, menyumbang tenaga, wang ringgit dan aset-aset bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
Untuk rekod dan untuk makluman semua Ahli-Ahli Dewan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga telah mengurniakan 26,000 set khemah bencana melalui Yayasan Sultan Ibrahim. Tidak cukup dengan itu, 103,000 set khemah telah diedarkan kepada semua negeri-negeri sempena bencana dan sebagainya. Dan, jumlah peruntukan yang telah disalurkan ialah sebanyak RM19 juta. Menjunjung kasih Tuanku. Patik mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku serta seluruh keluarga DiRaja sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab soalan Johor Jaya, Mengkibol, Bukit Batu dan juga Parit Raja, izinkan saya berkongsi 7 usaha kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah banjir di peringkat negeri Johor dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Dari segi 7 inisiatifnya.
Pertama, ialah Rancangan-rancangan Tebatan Banjir (RTB). Seperti yang ramai sedia maklum, sudah dua RTB yang telah diselesaikan, pertamanya, RTB Lembangan Sungai Muar, Fasa 1 di Segamat, yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Keduanya, Lembangan Sungai Muar, Fasa 2 di Muar dan juga Tangkak yang melibatkan kos RM331 juta.
Untuk RTB semasa, yang sedang dan akan dijalankan kerana bajetnya pun sudah ada, terdapat sejumlah 5 RTB, pertamanya, RTB Lembangan Sungai Johor Fasa 1 di Kota Tinggi, yang melibatkan kos sebanyak RM762 juta. Keduanya, RTB di Kampung Sungai Kapal Lama Kota Tinggi juga melibatkan RM15 juta. RTB di Kampung Sepang Loi, Segamat melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta. RTB di Seri Medan, ni nak kena tukar (ketawa). Mohon maaf Speaker, RTB di Sungai Pemandi, Kota Tinggi melibatkan kos sebanyak RM42 juta.
Untuk yang akan datang pula Yang Berhormat Speaker, kita telah memohon dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang amat prihatin tentang masalah yang kita hadapi mengenai banjir di Johor. Pertamanya, permohonan ialah di Bandar Batu Pahat, RTB berkos RM195 juta. Keduanya, di Sungai Muar, Fasa 3, melibatkan kos sebanyak RM648 juta.
Secara dasarnya, Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya difahamkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak ada masalah untuk meluluskan kedua-dua RTB. Pada masa sama, dengan bantuan JPS, kita juga akan meminta 5 lagi RTB, pertamanya Lembangan Sungai Pontian Besar, yang melibatkan kos sebanyak RM73 juta, Lembangan Sungai Tenglu Besar di Mersing, RM50 juta. RTB Sungai Belemang di Tangkak, RM12 juta, Lembangan Sungai Kesang Fasa 2 Tangkak juga, sebanyak RM136 juta dan Lembangan Sungai Muar Fasa 4 dari Kampung Jawa ke FELDA Medoi sebanyak RM109 juta.
Inisiatif yang kedua, Yang Berhormat Speaker, ialah penyelenggaraan parit, pintu air, sungai, saliran, pantai, jalan ladang, rumah pam, jambatan dan lain-lain lagi. Tahun lepas, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM39.9 juta, untuk tahun ini kita meluluskan peruntukan sebanyak RM43 juta.
Untuk pam bergerak dan juga pam portable ialah inisiatif yang ketiga, kita semua sedia maklum ya, di kawasan Batu Pahat, banjirnya masih lagi termenung dan kalau kita tengok dari segi pam-pam yang sudah diletakkan di pintu-pintu air ada 20, melalui gabungan tenaga semua pihak termasuk bantuan daripada kerajaan persekutuan dan juga JPS daripada negeri-negeri lain, kita telah menambah sebanyak 53 unit pam. Kita harap dengan usaha ini, insya-Allah, air yang termenung di kawasan daerah Yang Berhormat Speaker, akan dapat surut sebelum Ramadan, insya-Allah.
Keempatnya, ialah menaik taraf rumah pam. Kita telah menaik taraf rumah pam di kawasan Parit Johar, Batu Pahat; Bakau Condong, Batu Pahat dan kita sedang menaik taraf 5 lagi rumah pam di Kuala Senggarang, Parit Bintang, Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang dan juga Sungai Durian.
Inisiatif kelima pula, Yang Berhormat Speaker, ialah menaik taraf pintu-pintu air. Untuk pengetahuan semua, sekarang ini kita mempunyai bilangan pintu air sebanyak 207. Sebelum ini, 6 projek negeri melibatkan kos sebanyak RM2.5 juta telah dilaksanakan untuk menaik taraf pintu-pintu air dan juga 4 projek persekutuan melibatkan RM2 juta. Sekarang ini 8 projek negeri melibatkan kos sebanyak RM2 juta sedang dilaksanakan di seluruh negeri. Untuk masa akan datang, 3 lagi projek Persekutuan melibatkan RM2.7 juta akan dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif keenam Program Ramalan Amaran Banjir Negara ataupun lebih dikenali sebagai PRABAN, Program Ramalan Amaran. Jadi selepas ini insya-Allah kita dapat meramal kejadian banjir monsun, 7 hari lebih awal. Dengan ada sistem ini, insya-Allah, kita dapat memaklumkan kepada rakyat dan juga membuat persiapan melalui agensi-agensi berkaitan untuk memastikan persiapan dibuat dengan lebih terperinci sebelum banjir itu berlaku insya-Allah. 247 stesen melibatkan RM19 juta sedang dilaksanakan di seluruh negeri Johor.
Ketujuhnya Yang Berhormat Speaker ialah Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam ataupun lebih dikenali sebagai PISMA. Kajian ini adalah satu kerangka bagi pengurusan air hujan di kawasan-kawasan kajian berkenaan kuantiti air, kualiti air dan juga aset inventori terutamanya di kawasan-kawasan bandar. So, there is a better planning system untuk kawasan-kawasan bandar melalui program PISMA ini. Dan mereka telah melaksanakan kajian ini di kawasan Tebrau, Plentong dan juga Pengerang. Selepas ini kajian akan dibuat oleh JPS di kawasan Johor Bahru, Muar, Pontian, Pekan Nanas dan juga Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, itu sikit sebanyak huraian tentang pelan-pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang dibuat oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya tegaskan berkali-kali kerajaan negeri Johor ini tidak akan berpeluk tubuh, mendiamkan diri, membutakan mata, menulikan telinga dan menutupkan hati terhadap penderitaan yang dialami oleh Bangsa Johor yang telah bertekad-tekad lama. Isu banjir ini bukan isu sehari dua tuan-tuan dan puan-puan. Isu banjir ini telah berlaku sekian lama. Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat ke-22 dan juga ke-23 (membaca ayat al-Quran) yang bermaksud, “apakah sekiranya kamu diberikan kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dikutuk oleh Allah, lalu ditulikan pendengarannya dan dibutakan penglihatannya.”
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai pemimpin-pemimpin di muka bumi Allah SWT ini, kita mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk memastikan bahawa negeri Johor yang kita semua sayangi ini dihindari bencana dan bala. Dalam kita mengejar dunia, jangan kita sekali-sekali terlalai untuk menjaga dan menggalas tanggungjawab yang cukup besar ini. Sebab itu, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah menitahkan dan juga menggesa kita semua Bangsa Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Tuanku juga berkenan mengingatkan kita semua bahawa setiap pembangunan yang hendak dibuat di kawasan yang berbukit atau tanah tinggi mestilah mengekalkan bentuknya.
Untuk makluman Dewan yang Mulia ini, Ke bawah Duli Tuanku titahnya berkait rapat dengan misi yang ingin digarapkan oleh kerajaan negeri. Oleh itu, kerajaan negeri ingin menggesa agar satu Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana Banjir dibentuk oleh Dewan yang Mulia ini yang akan dibarisi oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri merentasi parti politik (Dewan bertepuk), waima di pihak kerajaan ataupun di pihak penimbang.
Oleh itu mengikut Fasal 32(viii) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor, kerajaan negeri akan mengemukakan satu rundingan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Banjir semasa sidang DUN ini. Dan menjadi harapan saya agar rundingan ini mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ada di dalam Dewan ini. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Parit Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya, Parit Raja merakamkan setinggi penghargaan di atas komitmen yang tidak berbelah bagi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri serta seluruh agensi yang terlibat. Namun, apa juga yang penting pada hari ini, saya amat berharap dan soalan saya sebenarnya apakah bantuan-bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan dalam tempoh banjir di negeri Johor ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Menjawab soalan Yang Berhormat Parit Raja mengenai bantuan-bantuan yang telah dihulurkan oleh kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri. Pertamanya tentang bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan persekutuan.
Untuk makluman Dewan, pada awal bulan Mac telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, bantuan sebanyak RM10 juta campur RM50 juta disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Johor. Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah mengumumkan tambahan sebanyak RM150 juta untuk membantu lagi kita di negeri Johor.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan bukan sahaja terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga kepada semua Menteri-Menteri dan juga Timbalan-Timbalan Menteri yang turun padang membantu kita di peringkat kerajaan.
Seterusnya juga, saya nak ambil kesempatan dari segi bantuan daripada kerajaan negeri pula, penghargaan diberikan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan, Pegawai-Pegawai Daerah, agensi-agensi persekutuan dan negeri yang semuanya menggembleng tenaga membantu kita rakyat-rakyat secara keseluruhan dalam menghadapi cabaran yang cukup besar ini.
Saya tengok dalam masa seminggu dua ini, memang tak lepas tangan tuan-tuan dan puan-puan, Ahli-Ahli Yang Berhormat, sehinggakan negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Terengganu dan juga Wilayah Persekutuan juga menghulurkan bantuan, membantu kita di negeri Johor. Sama-samalah kita memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada mereka. (Dewan bertepuk.)
Dari segi pengiktirafan juga, bantuan yang diberikan oleh agensi-agensi ini, saya rasa perlu kita iktiraf. Dan saya akan sebutkan satu-satu :
1. Polis DiRaja Malaysia 2. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 3. Jabatan Kesihatan 4. Jabatan Kebajikan Masyarakat 5. Jabatan Alam Sekitar 6. Angkatan Tentera Malaysia 7. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 8. Pihak Berkuasa Tempatan 9. Pejabat-Pejabat Daerah 10. Angkatan Pertahanan Awam (APM) 11. Jabatan Met 12. Jabatan Penerangan 13. Jabatan Pendidikan 14. Jabatan Kerja Raya 15. Jabatan Pengairan dan Saliran 16. RELA 17. Majlis Keselamatan Negara 18. Jabatan Mineral dan Geosains 19. Telekom Malaysia 20. Tenaga Nasional Berhad 21. Ranhill SAJ 22. Penghulu-Penghulu Mukim 23. Ketua-Ketua Kampung;
Mereka semua ini terlibat dalam Jawatankuasa Bencana Banjir. Dari segi bantuan yang disalurkan kepada rakyat pula, secara direct kepada mereka ialah Bantuan Wang Ihsan ataupun lebih dikenali sebagai BWI. Setiap daripada ketua isi rumah diberikan bantuan sebanyak RM1,000.00, barang keperluan asas sebanyak RM2,500.00, bantuan pembaikan rumah sebanyak RM5,000.00 dan bantuan kematian sebanyak RM10,000.00.
Dan perkara ini ada juga saya berbincang dengan Yang Berhormat Perling. Ada juga kedengaran kerisauan isu-isu di mana mangsa-mangsa banjir ataupun ketua-ketua isi rumah yang tidak berdaftar di PPS, kononnya ada isu mereka juga tidak mendapat bantuan.
Ini seperti yang telah disebut oleh Yang Berhormat Menteri, Datuk Amizan, semua mangsa-mangsa banjir waima kalau tak duduk di PPS sekali pun boleh menerima bantuan, kaedah ataupun prosedurnya terutamanya berjumpa dengan ketua-ketua masyarakat untuk mendapatkan endorsement dan kemudian perkara itu akan diserahkan kepada pegawai-pegawai daerah yang akan akhirnya menyalurkan maklumat tersebut kepada NADMA. Jadi yang akan membayar, kelulusan terakhir adalah melalui NADMA.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bantuan kedua ialah bantuan tunai oleh kerajaan negeri yang berjumlah sebanyak RM300.00 kepada setiap ketua isi rumah. Setakat ini jumlah yang telah disalurkan ialah sebanyak RM3.7 juta.
Seterusnya, oleh kerajaan negeri melalui JKM ialah bantuan peruntukan perbelanjaan darurat, keperluan makan minum di PPS sebanyak RM12.5 juta. Dan tidak lupa juga bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM1.6 juta dalam bentuk makanan dan keperluan asas.
Saya juga ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah menitahkan supaya Southern Volunteers dan NGO-NGO belia di seluruh negeri Johor digerakkan membantu mangsa-mangsa banjir sempena pasca banjir ini.
Untuk maklumat Dewan seperti Yang Berhormat Stulang dan saya saksikan tadi, sebanyak 500 lebih sukarelawan telah digerakkan hari ini bersama 250 aset yang melibatkan bantuan daripada PBT-PBT dan juga NGO-NGO termasuk GLC-GLC menggembleng tenaga bergerak hari ini membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Batu Pahat. Tidak cukup dengan itu, sumbangan tunai juga diberikan oleh GLC-GLC – PIJH, PDT, KPRJ, REHDA, Yayasan Mohd Noh, Majupadu Sdn. Bhd., French Business Community dan juga DIALOG Group. Semuanya tampil ke hadapan untuk membantu kita di negeri Johor. Sekian.
Sila Johor Jaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pihak pengimbang mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan juga Pengurusan Bencana yang akan ditubuhkan oleh pihak kerajaan negeri dan saya berharap supaya dengan penubuhan Jawatankuasa tersebut kita dapat berbincang dengan lebih produktif, efektif dan konklusif dalam Jawatankuasa tersebut.
Yang Berhormat datuk Speaker, sehingga hari ini masih ada 20,000 mangsa yang masih dalam PPS. Terima kasih atas usaha kerajaan negeri yang seperti apa yang dijelaskan oleh Yang Berhormat tadi, saya bagi soalan tambahan saya, bagi RTB iaitu Rancangan Tebatan Banjir yang sedang atau akan dilaksanakan, berapa lamakah jangkaan masa bagi pencegahan banjir tersebut supaya banjir tidak akan berlaku di dalam kawasan tersebut? Sebagai contoh apabila RTB itu telah siap, banjir tidak akan berlaku dalam tempoh 30 tahun ke 50 tahun? Itu sahaja. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan yang diajukan oleh Johor Jaya ini sangat baik. Dari segi RTB-RTB yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan, tempoh masa yang saya difahamkan adalah untuk jangka masa 50 tahun dan kalau kita tengokkan perubahan iklim yang berlaku ini, saya ada kerisauan sedikit sama ada ia mencukupi kerana bila banjir yang berlaku baru-baru ini seperti Ke bawah Duli Tuanku bertitah semasa Pembukaan Rasmi, air yang turun dalam masa dua hari itu lebih daripada jumlah satu bulan, hampir dua bulan air turun dalam masa dua hari. Sebab itu Jawatankuasa ini sangat penting Yang Berhormat Johor Jaya, supaya kita boleh memperhalusi rancangan yang telah kita ada, perbaiki dan juga belajar daripada negara-
negara yang sudah mempunyai satu pelan yang cukup komprehensif yang insya-Allah dapat membantu kita di negeri Johor. Terima kasih.
Sila Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama-tamanya izinkan Mengkibol ucapkan terima kasih kepada JKR Kluang kerana berjaya melaksanakan satu projek penambahan satu crossing culvert di Persimpangan Jalan Kota Tinggi – Jalan Mersing yang membuktikan program sebegini dapat menyelesaikan banjir kilat di tempat ini.
Soalan tambahan saya, memandangkan pengurangan peruntukan pembangunan di negeri Johor pada 2023 sebanyak 31% dan juga pengurangan belanjawan untuk JKR dan JPS dan pengangkutan sebanyak 18% dari RM140 juta kepada RM115 juta. Adakah terdapat rancangan untuk memberikan peruntukan tambahan dan bolehkah kerajaan mempertimbangkan penggunaan wang simpanan iaitu kalau ikut analisa Audit, baki terkumpul Wang Disatukan pada akhir tahun 2021 adalah sebanyak RM2.245 bilion. Bolehkah ini dapat diguna untuk program tebatan banjir dan saya percaya semua pihak termasuk rakan media sangat ingin tahu berapakah anggaran kerugian ekonomi akibat banjir kali ini? Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Dewan dari segi isu banjir ini ia memerlukan kerjasama yang erat antara kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri. Dan dari segi permohonan untuk makluman Dewan, kita telah menghantar surat bertarikh 8 Mac 2023 kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana anggaran kerosakan dan juga projek-projek tebatan banjir tambahan yang diperlukan berjumlah RM1.153 bilion. Ini bukan anggaran kerosakan, saya kata inilah gabungan projek tebatan banjir dan juga bantuan yang diperlukan untuk memperbaiki jalan-jalan raya kita, PBT-PBT kita dan juga daerah-daerah kita. Pecahannya Yang Berhormat Speaker dari segi permohonan yang diminta melalui JKR berjumlah RM168 juta. ini akan melibatkan baik pulih jalan, baik pulih pavement, baik pulih perparitan, baik pulih perabot jalan dan juga baik pulih cerun. Pejabat-pejabat daerah kita mohon sebanyak RM35.6 juta, baik pulih sekolah, baik pulih jalan, baik pulih longkang, parit, balai raya, masjid dan surau, baik pulih dewan, tebing, jambatan dan juga kompleks penghulu, melalui PBT-PBT sebanyak RM44 juta, melalui JPS sebanyak RM904 juta dan melalui Jabatan Pertanian sebanyak RM200,000.00.
Saya dimaklumkan oleh pihak Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri, insya-Allah tidak ada masalah dari segi jalan-jalan ataupun bantuan-bantuan yang perlu disalurkan kepada rakyat akan dilaksanakan pada kadar yang segera. Jika ada keperluan tambahan untuk kita lihat kepada tabung kewangan, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak bila kita nak membantu rakyat, insya-Allah. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 6. Terima kasih.
Berapa ramaikah para nelayan dan petani yang bekerja sendiri di dalam kawasan DUN Kota Iskandar yang telah mencarum SOCSO dan sekiranya ada kes bayaran manfaat caruman kepada mereka, bolehkah YB EXCO berikan butiran maklumat di dalam Dewan yang mulia ini?
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar. Yang Berhormat Datuk Speaker, ADUN Kota
Iskandar bertanyakan tentang jumlah nelayan dan petani yang bekerja sendiri dalam kawasan DUN Kota Iskandar yang telah mencarum SOCSO dan sekiranya ada kes bayaran manfaat caruman kepada mereka, siapakah penerima tersebut.
Untuk makluman, Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO telah ditubuhkan sebagai sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja Tahun 1971. Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah Peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Bermula pada 1 Januari 2020, Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO telah diperluaskan lagi kepada 19 sektor pekerjaan sendiri termasuk sektor pertanian.
Berdasarkan statistik PERKESO sehingga 12 Februari 2023, terdapat seramai 287,000 orang berinsurans bekerja sendiri atau OBBS dalam negeri Johor. Dan dari jumlah tersebut, seramai 149,743 orang adalah terlibat dalam sektor pertanian yang mana telah berdaftar dan mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Berkenaan dengan soalan Kota Iskandar, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Johor, terdapat 9 buah kampung yang terdapat di dalam kawasan DUN Kota Iskandar yang mempunyai komuniti nelayan iaitu dari Kampung Pendas, Kampung Melayu, Kampung Melayu Gelang Patah, Kampung Pok, Sungai Che Manan, Kampung Sungai Melayu, Tiram Duku, Simpang Arang dan Tebing Runtuh. Dan dalam kawasan ini, seramai 436 orang nelayan dalam kawasan DUN Kota Iskandar berdaftar dengan PERKESO dan ditolak carumannya setiap tahun secara automatik daripada pembayaran elaun sara hidup iaitu dengan jumlah caruman sebanyak RM157.20 setahun. Mana-mana nelayan yang terkesan dan menerima elaun sara hidup memang akan di carum secara automatik. Walau bagaimanapun, bagi nelayan yang tiada lesen tetapi menjadi ahli persatuan nelayan kawasan, mereka juga boleh mencarum sendiri dengan penyelarasan oleh pihak persatuan nelayan kawasan masing-masing.
Dan berkaitan kes yang terdapat dalam Kota Iskandar, mengikut rekod kami sejak tahun 2017 sehingga 31 Januari 2023, seramai 59 orang berinsurans bekerja sendiri atau OBBS di kawasan DUN Kota Iskandar telah menerima manfaat caruman disebabkan kes kemalangan berkaitan dengan pekerjaan sendiri seperti Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Perubatan dengan nilai pembayaran faedah sebanyak RM227,650.00.
Dan sebagai contoh, dua orang nelayan dalam DUN Kota Iskandar yang telah menerima manfaat daripada pelan caruman ini, contohnya pada tahun 2021, seorang nelayan Orang Asli kematian lemas semasa menjaring di laut yang warisnya menerima manfaat tunai RM900.00 sebulan, manakala pada tahun 2022 sebagai contoh seorang nelayan yang cedera ketika menggunakan chainsaw di jeti menerima manfaat RM1,500.00 kerana kemalangan. Secara rumusannya, pihak kerajaan sentiasa menyokong usaha bagi memberi perlindungan dan kebajikan kepada para petani dan usahawan tani yang bekerja sendiri terutama melibatkan sektor agro makanan. Bagi pendaftaran caruman Skim Perlindungan PERKESO, petani atau nelayan yang berminat akan terus ke pejabat PERKESO yang berhampiran atau membuat pendaftaran secara online. Tatacara atau syarat-syarat caruman akan diuruskan terus antara pencarum iaitu pihak petani dan nelayan dengan pihak PERKESO. Oleh yang demikian, segala maklumat dan butiran pencarum adalah di bawah pemantauan dan bidang kuasa pihak PERKESO. Sekian, terima kasih.
Ya, sila Kota Iskandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama Kota Iskandar merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk EXCO yang menang Ketua Bahagian dalam pemilihan yang lepas. Jadi dengan urusan itu mudah-mudahan dapat manfaat kerja yang lebih efisien kepada masyarakat yang saya sebut tadi. Soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, adakah sebagai kerajaan negeri yang sentiasa membela nasib rakyat khasnya kaum nelayan dan petani, adakah ada cadangan kepada kerajaan negeri untuk memberikan caruman percuma SOCSO kepada nelayan-nelayan tradisional ini kerana dalam suasana iklim yang tidak menentu ini, nelayan tradisional ini dia tidak ke laut mencari nafkah ibarat ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’. Andai kata caruman ini diberikan secara percuma, setidaknya dapat membantu kepada hasrat nelayan-nelayan tradisional ini. Jadi itu soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih DUN Kota Iskandar. Untuk makluman Ahli Dewan bahawa setiap nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM300.00 sebulan. Jadi saya fikir ia cukup untuk menampung nelayan sewaktu musim tengkujuh ataupun ketika tidak dapat turun ke laut dan potongan PERKESO ini adalah potongan secara automatik yang dipotong melalui elaun sara hidup ini dan untuk makluman Dewan juga bahawa jumlah elaun PERKESO, jumlah bantuan ataupun potongan yang dijalankan setiap bulan adalah sebanyak lebih kurang RM15.00 sahaja sebulan. Jadi saya fikir sebelum ataupun waktu ini kerajaan belum lagi berfikir untuk memberikan pemotongan ataupun bayaran secara automatik kerana memandangkan jumlah nelayan di seluruh negara, seluruh negeri Johor adalah lebih kurang 11,267 orang dan yang berlesen ialah 5,058. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan jika ADUN-ADUN kawasan termasuk ADUN Kota Iskandar ingin memberikan mungkin potongan untuk mereka ataupun pulangan daripada potongan mereka RM15.00 sebulan itu terus kepada nelayan-nelayan berkenaan. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Panti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.
Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab soalan sekali, Yang Berhormat Benut dan Yang Berhormat Panti, saya, apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar pengangguran di negeri Johor ini?
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab kedua-dua soalan, Yang Berhormat Benut dan juga Yang Berhormat Panti, secara bersekali. Untuk Yang Berhormat, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, penganggur bermaksud mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan, manakala belia mengikut definisi sedang mencari pekerjaan, manakala Dasar Belia, DBN, adalah merujuk kepada penduduk dalam kumpulan sasaran 15 hingga 30 tahun.
Dan pada tahun 2021, bilangan penganggur belia di negeri Johor merekodkan jumlah 45.0 ribu orang berbanding 43.2 ribu penganggur belia pada tahun 2020. Dari segi kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun di negeri Johor pula, mencatatkan peningkatan 0.5% kepada 6.3% pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya berikutan pandemik yang berpanjangan dalam tempoh tersebut.
Kerajaan negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor telah dan giat melaksanakan program-program gerak kerjaya Johor. Program Latihan Kemahiran Johor (Pro-Mahir) dan hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform-platform media sosial semua jabatan. Golongan sasar bagi setiap program anjuran jabatan ini adalah terbuka kepada semua golongan rakyat Johor termasuklah belia pencari kerja aktif dan juga golongan B40.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2023, Unit Strategik Modal Insan Johor, telah membuat perancangan yang lebih drastik bagi menambah baik Program Gerak Kerjaya Johor dengan lebih memfokuskan kepada 3 zon dengan konsep turun padang ke daerah-daerah dan satu program berskala mega. Program Gerak Kerjaya Johor ini telah dibahagikan kepada 4 program iaitu Program Gerak Kerjaya Zon Selatan iaitu dibuat di Johor Bahru, Kulai dan insya-Allah, Pontian. Dan Program Gerak Kerjaya Zon Tengah yang akan dijalankan di Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Mersing. Dan seterusnya, Program Gerak Kerjaya Zon Utara, yang melibatkan Muar, Tangkak dan Segamat, seterusnya satu Program Gerak Kerjaya secara besar-besaran itu secara mega.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Ahli Dewan, pada 25 dan 26 Februari 2023, Unit Strategik Modal Insan Johor telah menganjurkan temu duga secara outreach, iaitu di daerah Kulai dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai bersempena Karnival Maju Johor Peringkat Daerah Kulai, dengan menawarkan lebih 443 jawatan kosong yang melibatkan penyertaan lebih 8 majikan. Seterusnya, Program Gerak Kerjaya Johor di Zon Selatan akan diadakan pada 19 Mac yang bertempat di Institut Kemahiran Mara Johor Bahru. Dengan melibatkan 15 majikan, yang menawarkan pekerjaan sebanyak 500 jawatan kosong dengan permulaan gaji RM1,500.00 hingga RM7,000.00. Selain daripada itu, turut diadakan juga pameran, pameran interaktif yang disertai oleh agensi daripada PERKESO, NIOSH, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan agensi-agensi lain bagi membuat hebahan serta perkongsian inisiatif anjuran agensi-agensi masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Gerak Kerjaya Johor ini akan diadakan di 3 zon daerah, yang mana zon tengah, yang akan diadakan pada Julai 2023, program akan diadakan pada bulan September di zon utara dan zon selatan program akan diadakan di Institut Kemahiran Mara pada 19 Mac 2023.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Latihan Kemahiran Johor (Pro-Mahir) juga, bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri Johor, Unit Strategik Modal Insan menjalankan satu inisiatif Program Latihan Kemahiran Johor yang dipanggil Pro-Mahir, yang berkonsepkan train and place. Program ini menawarkan peluang pekerjaan kepada peserta yang berjaya menjalani kursus-kursus di bawah Pro-Mahir, insya-Allah, bagi tahun 2023, sebanyak 15 buah kursus yang telah dipilih berdasarkan kajian dan perkongsian data yang dibuat oleh Unit Strategik Modal Insan Johor, kursus-kursus ini membantu memenuhi kriteria industri yang memerlukan tenaga kerja yang kompeten bagi memacu Johor pada 3 hingga 5 tahun akan datang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Dijemput Panti.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Dan, saya ucapkan syabas kepada kerajaan negeri atas segala usaha yang telah dibuat untuk memastikan kadar pengangguran ini dapat kita tangani sebaiknya, cuma kalau kita lihat daripada jawapan EXCO tadi, kadar pengangguran ni macam ialah semakin tahun, semakin bertambah. Tapi, kalau kita lihat mengikut pemerhatian saya dari minta Yang Berhormat EXCO betulkan kalau salah, kalau kita tengok sektor-sektor macam SME, pembinaan, sektor perkhidmatan khususnya, kadang-kadang pengusaha-pengusaha ini terpaksa tutup kedai ataupun tutup
perniagaan mereka atas sebab tidak dapat nak mencari pekerja untuk bekerja dengan mereka, macam restoran-restoran makanan segera, kalau perkhidmatan itu macam J&T, kadang saya dapat ada beberapa tempat tu dia tak dapat nak cari pekerja untuk bekerja dengan mereka. Soalan saya, bagaimana kerajaan negeri tengok dan lihat perkara ini, sebab kalau kita lihat, kita tak mampu untuk kehilangan sektor-sektor penting ye, nampak mungkin sikit tapi kalau dah bertambah seluruh Johor berlaku perkara yang sama ia akan sedikit sebanyak mencacatkan pertumbuhan ekonomi kerajaan negeri khususnya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Panti di atas soalan tambahan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli Dewan yang mulia, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Panti, pastinya kerajaan negeri Johor di bawah Unit Strategik Modal Insan Johor, yang giat membuat hebahan jawatan di platform media sosial, seperti yang saya terangkan sebentar tadi. Dan, sepanjang Januari hingga Mac 2023 ini, sebanyak 425 jawatan kosong telah diiklankan serta dihebahkan. SMI Johor amat mengalu-alukan para majikan yang mempunyai jawatan kosong dan keperluan bagi mendapatkan pekerja untuk menghubungi SMI agar maklumat tersebut dapat disalurkan serta dihebahluaskan kepada pencari kerja.
Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO sentiasa dan terus mempergiatkan usaha bagi merancakkan pasaran buruh menerusi pelbagai insentif bagi mengurangkan kadar pengangguran di negara kita termasuk di negeri Johor. Antara, di bawah Bajet 2023, PERKESO telah diberi peranan untuk melaksanakan 5 inisiatif Program Pasaran Buruh Aktif iaitu yang pertama, Program Transasi Pekerjaan untuk perantis TVET dan lepasan sekolah atau kerjaya TVET yang menyediakan bayaran inisiatif sebanyak RM600.00 sebulan untuk tempoh 3 bulan kepada majikan mengajikan graduan teknikal dan vokasional TVET bagi menangani isu-isu ketidaksepadanan pekerjaan, miss matched job dengan izin. Kerjaya TVET akan memfokuskan kepada program place and train, dengan izin, penempatan dan latihan yang membolehkan majikan menghantar belia-belia khususnya graduan TVET yang diambil bekerja untuk menjalani latihan berasaskan kompetensi oleh penyedia latihan yang diiktiraf oleh kerajaan.
Yang kedua, Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Bina Kerjaya, pekerja Informal Gig Riders atau yang menyediakan elaun sebanyak RM500.00 sebulan bagi tempoh 3 bulan kepada gig rider yang aktif menjalani latihan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan stabil dalam sektor formal dan subsidi bayaran yuran latihan juga disediakan untuk membolehkan pekerja gig menjalani pengajian mikro di IPTA atau di IPTS, khusus daripada program yang mendapat diiktiraf ini, yang akan membolehkan pelajar lebih fokus kepada topik mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.
Yang ketiganya, perlanjutan insentif-insentif pengajian secara bersasar, menerusi Program Daya Kerjaya, yang membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar daripada kalangan belia yang lama menganggur dan golongan rentan seperti Orang Asli, wanita, Orang Kurang Upaya (OKU), miskin tegar, individu di parol, bekas banduan dan sebagainya. Program Daya Kerjaya dijangka akan memberi manfaat kepada 40,000 orang dengan insentif sebanyak RM600.00 sebulan selama 3 bulan untuk majikan yang mengambil pekerja dari kumpulan sasar ini.
Yang keempat, Elaun Mobiliti, yang diberikan kepada penerima faedah kehilangan pekerjaan di bawah sistem Insurans PERKESO yang mendapat tawaran pekerjaan baru, layak memohon bantuan mobiliti ini sebanyak RM500.00 sehingga RM1,00.00 sebulan. Bantuan sekali, mohon maaf, bantuan one-off ini bertujuan meringankan beban pencari kerja yang akan memulakan pekerjaan serta melibatkan penghijrahan jarak jauh dari Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.
Dan yang terakhir, Pembangunan Pusat Satelit, MyFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar atau UTC seluruh Malaysia. Oleh itu, Pusat UTC di seluruh negara akan dinaik taraf dan menjadikan Pusat Satelit MyFutureJobs, Pusat Satelit ini akan menyediakan perkhidmatan pekerjaan seperti jawatan kosong, sesi temu duga bersama majikan dan kaunseling kerjaya untuk manfaat pencari kerja termasuklah bakal graduan. Melalui usaha ini, insya-Allah, akses peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan kepada setiap lapisan masyarakat akan diperluaskan.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, PERKESO secara berterusan, secara berterusan mempergiatkan Karnival Kerjaya atau Job Carnival di seluruh negara sebagai galakan kepada pencari kerja, secara tidak langsung turut membantu merangsang pasaran buruh negara. Berdasarkan sistem, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), PERKESO dari tahun 2022 hingga 28 Februari 2023, PERKESO Negeri Johor telah melaksanakan sebanyak 30 Program Karnival Kerjaya yang melibatkan seramai 5,392 orang pencari kerja. Selain itu, sebanyak 235 kali aktiviti temu duga secara terbuka dan di atas talian telah diadakan dalam tempoh yang sama. Program ini insya-Allah dapat membantu meningkatkan peluang pencari kerja di kalangan pencari kerja yang secara tidak langsung turut membantu majikan dalam memenuhi kekosongan jawatan yang ditawarkan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pulai Sebatang nombor 9. Terima kasih.
Berkenaan rumah flat Taman Sri Api-Api, Pontian. Apakah status semasa perumahan, adakah sudah bertuan atau belum? Jika belum, dicadangkan agar kerajaan negeri buat sesuatu supaya tidak terbengkalai dan usang.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan selamat pagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, rumah flat Taman Sri Api-Api Pontian merupakan projek penswastaan. Tapak projek merupakan tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan atau SSI dibina oleh YPJ Bina bersama pemaju WFC Development Sdn. Bhd. Rumah telah dijual dan diduduki oleh pembeli. Semakan mendapati pemaju ada membuat kutipan kos penyelenggaraan dan bertanggungjawab ke atas bangunan supaya dalam keadaan baik, tidak usang dan di selenggara dengan baik.
Mengikut Akta Hakmilik Strata Pengurusan 2013, Akta 757, pemaju bertanggungjawab bagi menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau dikenali JMB di flat Taman Sri Api-Api Pontian. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Perling.
Soalan saya soalan 10. Terima kasih.
Nyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dari segi infrastruktur, memudahkan cara perniagaan (ease of doing business) dan membina ekosistem rantaian bekalan tempatan untuk menerima pelaburan asing di Negeri Johor yang kian meningkat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan salam sejahtera dan salam Maju Johor. Antara teras Maju Johor termasuk kemudahan dan keperluan asas. Dalam hal ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya sentiasa mengambil maklum dan prihatin tentang cadangan menaik taraf infrastruktur awam dalam negeri. Khususnya untuk kawasan
perindustrian, kerajaan negeri telah pun memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi menambah baik infrastruktur yang sedia ada. Dan bagi tahun ini, melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia ataupun MIDA, kita telah pun memohon 7 projek yang meliputi kawasan perindustrian Lukut, Tangkak, Tongkang Pecah, Sembrong dan kawasan wawasan di daerah Kluang.
Dari segi memudah cara perniagaan ataupun ease of doing business di Negeri Johor, kerajaan telah pun memperkenalkan 2 inisiatif iaitu Jawatankuasa Pelaburan Johor (Johor Investment Committee) dan serta Johor Fast Lane.
Jawatankuasa Pelaburan Johor ditubuhkan bagi menyelaraskan segala kemasukan pelaburan yang ke negeri Johor. Kerajaan negeri juga akan lebih fokus dalam menjalankan promosi bagi menarik pelaburan dengan lebih pendekatan kepada sektor-sektor berpotensi tinggi yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi Bangsa Johor.
GLC juga dapat menyelaraskan polisi dan dasar-dasar kerajaan mengenai pelaburan supaya diterima pakai dan diambil tindakan sewajarnya selain pemantauan secara berkala bagi industri-industri sedia ada.
Manakala bagi Johor Fast Lane, ia bertujuan untuk menyingkatkan tempoh menunggu daripada 24 bulan kepada 12 bulan kepada bakal pelabur untuk mendapatkan lesen-lesen ataupun sesi-sesi. Di bawah Johor Fast Lane ini lebih 17 agensi seperti JKR, JPS serta Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi kelulusan mereka kepada pelabur dengan lebih pantas. Kemudahan di kawasan perindustrian ini telah disediakan untuk pelabur termasuk elektrik dan air selain infrastruktur lain seperti sambungan jalan raya untuk memudah cara lagi bagi pelabur ke negeri Johor. Pelabur yang memindahkan mesin mereka ke kilang-kilang dan boleh mula beroperasi dengan segera, dengan inisiatif Johor Fast Lane ini. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Soalan saya ialah memang kita faham di seluruh negara, bukan sahaja di Johor, keadaan di banyak kawasan perindustrian tidak memuaskan. Salah satu sebab ialah dari segi perancangan, so adakah kita bersedia untuk memikir bagaimana kita merancang kawasan perindustrian dengan pemikiran yang baru terutamanya fokus terhadap clustering? Sebaiknya kita kluster dan juga kita merancang terutamanya untuk kawasan-kawasan perindustrian swasta, bagaimana kita ada dasar yang lebih ketat dan juga kita merancang secara dengan pemikiran yang barulah supaya masalah-masalah yang sedia ada tidak berulang. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Perling. Untuk Negeri Johor, kita ada Jawatankuasa Industrial Park Management Committee yang bermesyuarat secara berkala setiap suku dan dia dipengerusikan oleh Pegawai Daerah ataupun oleh Yang DiPertua di kawasan masing-masing.
Dan khususnya cadangan untuk clustering, ia memang satu cadangan yang dibangkitkan oleh Kementerian dan Kerajaan Negeri Johor telah pun berbincang dengan Kementerian... dengan MITI, dan kita bercadang untuk membawa kertas cadangan kepada Jawatankuasa Bersama Penyelaras Industri yang dipengerusikan secara bersama oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat Menteri MITI.
Dan cadangan yang sedang diperhalusi adalah dari Muar untuk pembangunan Maharani Gateway, Pagoh Special Economic Zone dan juga Hab Perabot Malaysia. Manakala untuk daerah Kota Tinggi melibatkan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu. Untuk daerah Mersing memfokuskan kepada Lembaga Tenusu Jemaluang. Manakala Segamat
sebagai hab bersepadu pertanian. Daerah Johor Bahru memberi fokus kepada perkhidmatan perniagaan global zon dron dan robotik. Daerah Kulai memberi fokus kepada pembangunan katalis projek Ibrahim Technopolis. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 11.
Selain daripada menerima peruntukan baik pulih sebanyak RM600,000.00 yang diumumkan ketika pembentangan Bajet 2023, apakah perancangan kerajaan negeri di dalam menjadikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai satu hab kompleks Warisan terkenal di Malaysia?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Pasir Raja dalam Belanjawan Johor 2023 di bawah Inisiatif 2 iaitu penambahbaikan infrastruktur pelancongan telah diperuntukkan sebanyak RM600,000.00 yang dimaksudkan adalah peruntukan bagi baik pulih dan persediaan untuk membuka Muzium Sultan Abu Bakar di bawah seliaan Jabatan DiRaja Johor.
Bagi tahun 2023, walaupun kerja-kerja baik pulih di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar tidak setimpal dengan kos baik pulih sebenar sehingga menjadikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai hab kompleks warisan terbaik.
Yayasan Warisan Johor telah mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan warisan sejarah seni dan budaya negeri Johor kepada masyarakat dari dalam dan luar negara menerusi program Let’s Visit Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.
Program Let’s Visit Kompleks Warisan menawarkan lawatan berpandu yang dipimpin oleh kakitangan Yayasan Warisan keempat buah lokasi utama di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar iaitu Rumah Limas Johor, Rumah Zapin, Galeri Seni Johor dan Galeri Tenun Johor.
Menerusi kempen yang dilancarkan pada bulan Ogos 2022 yang lalu ini juga, Yayasan Warisan Johor telah mencatatkan peningkatan jumlah pelawat ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebanyak 79% bersamaan 5,652 jumlah pelawat berbanding 1,200 jumlah pelawat pada tahun sebelumnya oleh kerana ketidaktentuan keadaan semasa fasa covid-19.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yayasan Warisan Johor telah menerima peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya Negeri Johor bagi kerja penggantian sistem pendingin hawa di auditorium Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar. Atas sebab itu, Yayasan Warisan Johor boleh menjalankan program-program yang melibatkan teater muzikal sebagai contoh Teater Muzikal Putera Gunung Panti pada tahun 2022 dan pada tahun 2023, terdapat 3 teater yang akan berlangsung seperti Teater Bangsawan Puteri Daun Emas, Teater Ceritera Melayu dan Teater Battle Of Endau.
Selain itu peranan dan keberadaan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar juga telah diperkukuh dengan dijadikan sebagai lokasi wajib henti untuk memperkenalkan khazanah warisan sejarah seni dan budaya Negeri Johor kepada tetamu kehormat kerajaan negeri. Ini termasuk dalam beberapa siri kunjungan hormat pejabat kedutaan antaranya dari Australia, Jerman, Republik Cuba, Jepun dan Korea Selatan ke negeri Johor.
Selain itu juga, Yayasan Warisan Johor turut dijadikan tempat rujukan bagi pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan
budaya warisan negeri Johor. Di dalam Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar mempunyai pusat dokumentasi Johor yang menempatkan buku-buku sejarah, pusat repositori Johor yang menyimpan artifak-artifak serta mempunyai fasiliti konservasi.
Yayasan Warisan Johor akan terus mempergiatkan strategi promosi Let’s Visit Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar secara bersasar dengan memperluaskan undangan lawatan dan aktiviti kepada pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, institut pengajian tinggi awam atau swasta dan sekolah-sekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia serta menjemput semua Wakil-Wakil Rakyat setiap daerah untuk datang melawat dan merasai sendiri di Yayasan Warisan Johor.
Yayasan Warisan Johor sentiasa membuat publisiti di media sosial seperti facebook, Instagram dan tiktok untuk memperkenalkan budaya dan warisan Negeri Johor. Selain itu Yayasan Warisan Johor juga mempromosikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar melalui media massa yang disiarkan secara langsung di siaran RTM. Oleh yang demikian, kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor komited dalam menjadikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sebagai satu pusat rujukan utama dalam bidang sejarah, warisan seni dan budaya negeri Johor selain memainkan peranan sebagai pemegang taruh utama dalam mempamerkan dan menyebar luas keunikan budaya Johor untuk manfaat orang ramai. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan.
Soalan tambahan saya adalah selain dari menjadi tempat tumpuan pelancong, adakah kerajaan negeri bercadang untuk dijadikan KWSAB ini sebagai satu hab pendidikan warisan budaya supaya warisan seni Johor, seni budaya Johor ini terus dipelihara di masa akan datang.
Terima kasih. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha memelihara warisan budaya Johor, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor sentiasa memastikan warisan seni budaya kekal subur dan tidak ditelan zaman, selain menjadikan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar ini sebagai satu hab pendidikan warisan. Adalah dengan menjadikan warisan seni budaya sebagai salah satu subjek dalam meningkatkan kemahiran dan pendidikan. Melalui Program Perintis Negeri Johor yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 setelah penjenamaan semula dengan menekankan 4 program utama dalam memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat dalam bidang seni visual, seni khat, seni ukiran dan juga seni tenunan.
Program ini dilaksanakan di Kompleks Warisan dengan peserta akan diberikan pendedahan bagi mendalami dan mempelajari seni yang menekankan elemen dan identiti negeri Johor melalui kelas dan bengkel yang dianjurkan selama 6 bulan bagi setiap satu modul. Peserta yang menyertai akan memperolehi sijil penyertaan bagi kategori kanak-kanak dan remaja. Sijil pengiktirafan pula akan diberikan kepada golongan dewasa sekiranya layak dan menepati kriteria bagi dilantik menjadi tenaga pengajar di setiap daerah atau menjadi ahli kraf atau penenun di Yayasan Warisan Johor. Sehingga kini seramai 22 orang tenaga pengajar bagi bidang seni visual, seni khat, seni ukiran dan seni tenunan telah dilantik bagi setiap daerah dan lebih 12,000 orang peserta telah menyertai program ini bagi tahun 2022. Terima kasih.
Dijemput sekali lagi Yang Berhormat Parit Raja. Ya sila.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 12.
Jika berlaku sesuatu kes penderaan di sekitar, apakah tindakan yang sewajarnya perlu diambil oleh komuniti?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Parit Raja. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa memaklumkan orang awam atau komuniti bersama-sama memastikan penderaan terhadap kanak-kanak tidak berlaku, dengan melaporkan di mana-mana pejabat kebajikan masyarakat yang berdekatan. Talian hotline iaitu Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari juga disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi memudahkan orang awam melaporkan kejadian penderaan terhadap kanak-kanak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekiranya berlaku penderaan adalah menjadi kewajipan ibu bapa atau ahli keluarga untuk melaporkan perkara tersebut kepada pelindung di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seperti di bawah Seksyen 28(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Mana-mana ahli keluarga yang tidak mematuhi perkara ini telah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang hendaklah ditentukan oleh mahkamah. Sekiranya syarat-syarat yang telah ditentukan tidak dipatuhi, mereka telah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala ibu bapa atau penjaga yang merasakan diri mereka tidak mendapat mengawal keadaan diri terutama apabila tertekan, bolehlah mendapat bantuan yang diperlukan seperti khidmat kaunseling yang disediakan secara percuma oleh agensi-agensi kerajaan yang terdapat di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa membantu klien yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan dan disantuni dengan melihat kepada tahap keseriusan setiap klien yang akan dibantu melalui sesi kaunseling, sokongan psikologi, ujian psikologi yang mengukur personaliti tahap kesihatan mental, hubungan kekeluargaan dan sebagainya. Program-program yang bersesuaian dan diperlukan oleh mereka juga dilaksanakan terutamanya program-program pencegahan dan psiko pendidikan bagi mengelakkan klien melakukan tingkah laku yang kurang rasional seperti penderaan. Sekiranya klien memerlukan bantuan lanjut, kaunselor JKM Negeri Johor akan membantu merujuk klien berkenaan kepada agensi lain supaya klien dapat dibantu secara menyeluruh. Terima kasih Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Bekok.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bekok nombor 13. Terima kasih.
Masyarakat Islam di Labis amat memerlukan perkhidmatan Tabung Haji agar beroperasi semula di bandar Labis. Oleh yang demikian, saya mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu agar kaunter Tabung Haji dapat beroperasi semula di Labis.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Terima kasih Yang Berhormat Bekok atas soalannya bertanya tentang kemungkinan untuk Tabung Haji membuka semula kaunternya di bandar Labis. Bagi pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji merakamkan ucapan terima kasih atas saranan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Bekok bagi pembukaan semula cawangan Tabung Haji
di Labis. Sejajar dengan matlamatnya, Tabung Haji berusaha menyediakan saluran kemudahan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam di Malaysia.
Untuk makluman, Tabung Haji mempunyai sebanyak 107 buah cawangan di seluruh negara termasuklah 10 buah cawangan Tabung Haji di Johor ketika ini. Perkhidmatan yang ditawarkan di cawangan-cawangan ini merangkumi urusan pembukaan akaun, simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun, pendaftaran haji, hibah, amanah, penamaan waris dan sebagainya.
Untuk makluman Dewan yang mulia, sejajar dengan arus perdana digitalisasi, pihak Tabung Haji juga membangunkan aplikasi perkhidmatan atas talian THiJARI. Para pendeposit boleh melaksanakan pelbagai urusan dengan mudah dan cepat di mana jua berada tanpa perlu hadir ke kaunter Tabung Haji lagi. Kemudahan ini boleh dilayari melalui portal www.thijari.com.my. Perkhidmatan digital kini menjadi pilihan pengguna dengan kadar lebih 80% transaksi dilakukan secara atas talian.
Bagi para pendeposit di kawasan Labis khasnya dan sekitarnya boleh membuat urusan transaksi Tabung Haji di cawangan-cawangan bank rakan strategik seperti di Maybank, jaraknya dari pekan Labis sekitar 0.18 kilometer, bagi Bank Rakyat jaraknya dari pekan Labis 1 kilometer sahaja dan bagi CIMB Bank boleh diakses jaraknya 2 kilometer dari pekan Labis. Para pendeposit juga boleh menggunakan kemudahan perbankan internet seperti Maybank2u, Bank Islam IB, CIMB Clicks, i-Rakyat, AmOnline dan Mobile Banking Standard Chartered Sdn. Bhd. Senarai penuh perkhidmatan tersebut dirujuk di laman web Tabung Haji.
Tabung Haji juga melebarkan perkhidmatannya melalui perkhidmatan kaunter bergerak dan Tabung Haji Komuniti sebagai inisiatif tambahan untuk kemudahan umat Islam mendapatkan perkhidmatannya. Perkhidmatan bergerak berjadual ini disediakan mengikut negeri dan daerah dalam memberikan kemudahan untuk pendeposit Tabung Haji. Tabung Haji percaya dengan pelbagai platform yang disediakan sebagai saluran penyampaian perkhidmatannya, umat Islam dan pendeposit Tabung Haji khususnya di kawasan Yang Berhormat Bekok dapat diakses menggunakan perkhidmatan secara atas talian dan melalui perbankan strategik dengan lebih berkesan. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Sungai Balang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 14.
Sukan berbasikal merupakan suatu yang menjadi gaya hidup masa kini. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan Jalan Muar-Batu Pahat dinaiktaraf dan dilebarkan untuk menyediakan lorong khas basikal bagi memberikan ruang rakyat bergiat aktif akan sukan tersebut di samping memelihara kesihatan badan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sungai Balang. Kerajaan sentiasa prihatin dan menyokong aktiviti-aktiviti gaya hidup sihat termasuklah sukan berbasikal. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan terdapat laluan basikal disediakan di Jalan Muar - Batu Pahat (FT005) iaitu bermula di Seksyen 167 sehingga 180 sepanjang 13 kilometer. Namun begitu, kalau mengikutkan cadangan daripada Yang Berhormat Sungai Balang untuk membesarkan dan dilebarkan jalan khusus untuk penunggang-penunggang basikal mengikut Akta Pengangkutan Jalan 333 Tahun 1987 Klausa 54, basikal, basikal elektrik dan juga tricycle yang bukannya kenderaan bermotor adalah tidak dibenarkan di atas jalan raya dan boleh didenda. Sekian, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Kahang.
Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 15.
Sila nyatakan berapa banyak projek Rumah Terbengkalai yang masih belum diselesaikan di negeri Johor dan usaha kerajaan negeri untuk membantu pembeli yang menanggung hutang pada bank.
Tahniah Yang Berhormat menang, itu yang terkejut tu.
Terima kasih Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan sentiasa memberi perhatian berkaitan isu-isu yang melibatkan perumahan sama ada ia merupakan pembangunan perumahan baharu, sedia ada mahupun projek-projek yang mengalami masalah sakit mahupun terbengkalai. Selaras dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118), projek-projek yang menghadapi masalah sama ada sakit mahupun terbengkalai ianya akan dikendalikan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN).
Pihak KPKT juga telah membuat pindaan kepada Akta 118 yang telah dikuatkuasakan bersekali dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta Hak milik Strata (Pindaan 2013) (Akta 318) bermula 1 Jun 2015 untuk mengelakkan projek perumahan swasta daripada terbengkalai. Menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ADUN Kahang, melalui laporan daripada Jabatan Perumahan Negara (JPN), sehingga 31 Januari 2023 terdapat sebanyak 8 buah projek perumahan swasta terbengkalai di negeri Johor meliputi 2,595 unit rumah melibatkan seramai 2,119 orang. Dan dua projek daripada 8 ini sedang dalam, sedang dipulihkan dan insya-Allah dijangka akan selesai pada hujung tahun ini. Terima kasih.
Datuk Speaker, soalan tambahan saya ialah kita sedar bahawa dalam konteks projek-projek terbengkalai ini, agensi, the lead agency ialah KPKT. Tetapi dalam konteks negeri Johor, apabila isu-isu seperti ini berlaku dahlah tak dapat rumah, tetapi pada masa yang sama pembeli rumah harus furnish dia punya loan dengan bank dan sebagainya. Jadi, ini yang jadi masalah kepada pembeli-pembeli dalam konteks rumah-rumah yang terbengkalai ini. Jadi, saya nak tahu apakah usaha ataupun bantuan yang kerajaan negeri boleh buat, adakah kerajaan negeri ada unit yang boleh membantu pembeli bincang dengan pihak bank untuk restructure balik dia punya pinjaman ataupun mengurangkan kadar faedah ataupun menerangkan sesuatu kepada pihak bank kerana sering kali apa yang berlaku yang menjadi mangsa adalah pembeli kerana mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada pihak bank dan sebagainya. Dan kadang-kadang pihak bank ni mereka tak peduli projek ni terbengkalai ataupun tak terbengkalai, yang mereka tahu adalah interest dan pembayaran balik diteruskan dan dia harus dibayar setiap bulan. Jadi dalam konteks ini, bagaimana kerajaan negeri boleh membantu? Kita ada 8 projek di sini dan mungkin ada yang menghadapi permasalahan dalam konteks pembayaran loan-loan ini, jadi adakah kerajaan negeri ada unit tertentu yang boleh membantu pembeli rumah dalam kes-kes seperti ini dan konteks negotiate dengan pihak bank dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih kepada YB ADUN Kahang. Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang satu tahun saya menjadi YB EXCO Perumahan, kita, saya bersetuju bahawa peringkat dasar perumahan negara terdapat dipanggil mungkin grey area, di mana bila seseorang pembeli membeli rumah dia
melibatkan pembeli, peguam dan bank. Dalam istilah rumah sakit dan rumah terbengkalai ini, pembeli ini dia akan berada dalam keadaan rugi sahaja sebab apa kalau rumah tidak siap, pembeli tidak boleh membuat apa-apa tuntutan walaupun ada LAD yang dikenakan kepada pemaju. Jadi, di peringkat kerajaan persekutuan sepatutnya dasar membela pembeli-pembeli rumah itu kena disemak semula sebab kalau ikut maklumat yang saya turun ke kawasan-kawasan projek sakit dan terbengkalai ini kadang-kadang pembeli-pembeli ini teraniaya, dahlah rumah tak dapat, tiap-tiap bulan kena bayar, tak boleh buat tuntutan kepada pemaju. Dan pemaju pula sangat bijak, bila dapati projek tidak membawa keuntungan pada dia, apa yang dia buat, dia isytihar bankruptcy. Lari, bila lari kat mana pembeli-pembeli nak tuju dan kerajaan tak ada hak, tak ada apa-apa kuasa untuk menindas pemaju ini. Sebab itu dalam konteks Johor ini, untuk makluman ADUN Kahang memang kita masuk contoh tahun lepas kita buat satu task force untuk selesaikan isu di Kota Tinggi, projek sakit dan yang terbaharu ini Residensi PRIMA 625 unit, yang ini lagilah saya tengok dalam empat projek sakit yang saya lawat, isu utama ialah pemaju tak ada duit, pemaju lari. Jadi, apa yang berlaku PRIMA melantik pemaju yang kedua, tetapi PRIMA ada perjanjian dengan pemaju pertama juga. Jadi dari segi pembeli ini tidak ada pembelaan langsung, pembelaan langsung. Jadi akhirnya, pembeli-pembeli ini dahlah dia terpaksa menyewa di rumah yang baharu kena bayar RM1,000.00, dalam masa yang sama dia bayar bulanan pada bank pula, janji setahun, jadi dua tahun, jadi tiga tahun. Ini jadi satu benda yang besarlah dalam perumahan ini. Sebab itu bila projek sakit dan terbengkalai ni bila dia orang minta di peringkat saya untuk masuk, saya akan tengok sama ada perkara itu boleh diselesaikan. Di perumahan Taman Molek, Johor Bahru pun isu yang sama. Pemaju pertama lari, lantik pemaju kedua, dahlah kos tu berganda, dan pemaju pulak dia letakkan harga yang pertama dah letak harga siling yang tinggi, yang kedua masuk, jadi tak ada untung, jadi akhirnya mereka tinggalkan.
Ini untuk makluman ADUN Kahang di peringkat kerajaan, saya secara ikhlasnya bersedia kalau projek-projek sakit yang tidak melibatkan undang-undang perjanjian. Contohnya, pemaju memang dah ada perjanjian dengan pembeli. Yang ni saya tak boleh masuk campur, pasal melibatkan legal, legal undang, undang-undang, tetapi macam PRIMA ni dia melibatkan isu PRIMA itu sendiri mintak kerajaan Johor bantu, yang tu kita boleh selesaikan, pasal kita boleh panggil PBT yang terlibat, JKR, SAJ, agensi-agensi persekutuan dan negeri untuk duduk sebagai satu task force. Jadi kita buat satu-satu penyelesaian. Yang itu boleh. Tetapi kalau pemaju itu tidak memberi kerjasama atau tidak meminta kerajaan negeri untuk masuk campur, yang tu sangat susah diselesaikan. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ditangguhkan 20 minit hingga jam 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan terhadap Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, akan diadakan selama 3 hari mulai hari ini, 19 Mac hingga 21 Mac 2023. Pihak kerajaan akan menggulung perbahasan pada 22 Mac 2023 dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada 27 Mac 2023.
Suka saya mengingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat, supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Bilangan 45.
Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya telah perolehi. Untuk pencadang rundingan, masa yang diberikan ialah selama 40 minit. Penyokong diberi masa 30 minit, pengimbang kerajaan diberi masa 30 minit. Manakala, Ahli-Ahli Dewan yang lain akan diberi masa hanya 15 minit sahaja. Bagi membolehkan lebih ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang telah diberikan. Dijemput Yang Berhormat Kukup.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam perpaduan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon membawa rundingan bahawa satu ucapan menjunjung kasih dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor seperti berikut. Ampun Tuanku, adalah patik, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi terima kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya untuk dibahaskan dalam ucapan saya hari ini, yang merujuk kepada titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, isu semasa dan juga inti pati perbahasan Bajet 2023 oleh kerajaan persekutuan yang berkaitan dengan negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama kali saya ingin menzahirkan rasa simpati, sedih dan berdukacita kepada mangsa-mangsa yang terkesan disebabkan bencana banjir yang sehingga kini banyak tempat belum pulih sepenuhnya, dan masih ada mangsa yang terpaksa mendiami Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka masih digenangi air terutamanya impak air termenung yang sukar surut. Saya menurut sejarah, 17 tahun yang lalu tahun 2006 Johor pernah dilanda bencana banjir yang teruk, menjejaskan kira-kira 100,000 penduduk Johor. Namun banjir pada tahun ini disifatkan sebagai berlaku secara tidak dijangka, boleh dikatakan sebagai yang terburuk pernah dialami dan memberi impak yang jauh lebih buruk daripada banjir tahun 2006. Lebih 80,000 penduduk terkesan dan kira-kira 379 PPS seluruh negeri diaktifkan.
Bagi kawasan saya di sekitar Tanjung Piai, Kukup dan Pontian juga ada dinaiki air. Saya berkesempatan melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir seperti Kg. Sungai Burung, di PPS Pusat Koko Sg. Tempayan, Pekan Nenas dan PPS Seri Bunian. Walaupun banyak tempat di kawasan saya dilanda banjir, saya bersyukur kerana keadaan di kawasan saya mungkin tidak seteruk di daerah-daerah lain, seperti di Batu Pahat dan juga daerah yang paling teruk terkesan. Sahabat-sahabat kita Yang Berhormat juga, terlibat dan menjadi mangsa banjir seperti Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat Tenang dan juga rakan-rakan yang lain ya. Sampai menyingsing kain nampaknya YB Tenang mengharung dengan banjir pada kali ini. Walaupun, sehingga kini mangsa banjir kebanyakan terpaksa berdepan dengan situasi air termenung yang dikatakan mengambil masa lebih sebulan untuk surut, sekali gus menyebabkan bau busuk yang teruk kerana kawasan tersebut berada di kawasan tanah gambut atau mempunyai tangki septik yang menyebabkan air kumbahan keluar apabila air bertakung lama. Ini juga menimbulkan masalah lain yang mengundang kepada penyakit kulit ataupun penyakit bawaan kulit.
Walaupun cuaca panas dan tidak hujan tetapi air termenung ini tidak surut dan tiada penyelesaian lain dapat dilakukan seperti alternatif menyedut air keluar. Bagaimana hendak menyedut air termenung ini? Ke mana hendak disalurkan air yang disedut kerana seluruh
kawasan digenangi air dan sebab itulah solusi ini tidak dapat dipraktikkan. Banjir termenung ini hanya berlaku di negeri Johor. Inilah unik keadaannya. Ramai petugas dan sukarelawan yang datang membantu mangsa, namun sudah pasti jumlah mereka tidak mencukupi, memandangkan jumlah menjadi mangsa mencecah puluhan ribu kesan banjir yang sangat teruk. Waima pagi ini sahaja, Yang Berhormat Menteri Besar melancarkan konvoi bantuan banjir. Ini menunjukkan inisiatif segera dan juga perlu diperkasakan lagi. Kebanyakan rumah mangsa mengalami kerosakan, kemusnahan ini sudah pasti. Dari segi struktur rumah, barang elektrik, bangunan rumah, yang dipenuhi lumpur dan selut, pelbagai lagi masalah. Justeru itu, saya menyeru dan merayu agar lebih ramai sukarelawan akan turun ke Johor untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Saya juga berharap agar kerajaan pusat menerusi Kementerian yang berkaitan akan turut sama bekerjasama dan menggembleng tenaga membantu mangsa banjir. Antaranya menerusi Kementerian Kerja Raya yang menerima sebanyak RM8.439 bilion peruntukan bagi Bajet 2023. Saya berharap ada sedikit peruntukan yang boleh disalurkan dengan kadar segera kepada negeri Johor melibatkan pemulihan, penaiktarafan dan penyelenggaraan fasiliti dan prasarana yang terkesan disebabkan banjir. Begitu juga dengan peruntukan sebanyak RM150 juta yang disalurkan kepada pengurusan banjir Pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara atau dikenali sebagai NADMA. Diharapkan agar peruntukan ini juga disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir sekurang-kurangnya menerusi sedikit bantuan tunai yang dapat membantu mangsa banjir yang memerlukan untuk membina kehidupan semula. Alhamdulillah kita dengar pagi ini jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga menjelaskan adanya sumbangan dan keprihatinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyalurkan sebanyak RM150 juta sebagai tambahan bagi membantu mangsa banjir di Johor.
Selain itu Kementerian Kesihatan atau mana-mana agensi juga diharapkan dapat turun padang, membantu dan memberikan khidmat kesihatan dan kaunseling kepada mangsa banjir yang terjejas dari aspek kesihatan dan psikologi. Begitu juga dengan Kementerian Dalam Negeri, bantulah mangsa banjir yang kehilangan dokumen, pengenalan diri seperti kad pengenalan, pasport, sijil kelahiran dan segala dokumen peribadi yang berkaitan secara percuma dan disegerakan prosesnya. Bagi memudahkan urusan mereka untuk memohon bantuan dan urusan rasmi seperti urusan bank. Saya ingin menyatakan beberapa persoalan yang penting pada hari ini.
Pertama sekali, apabila saya ingin bertanya berkaitan yang mereka yang tidak tinggal di PPS, kerana perkara ini saban kali berlaku sesiapa yang tidak tinggal di PPS, tidak akan menerima bantuan dan sebagainya. Tetapi Alhamdulillahlah, jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam menjawab beberapa persoalan Ahli-Ahli Yang Berhormat telah jelas, sesiapa yang tidak tinggal di PPS juga perlu dibantu. Inilah keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam mengurus mangsa banjir di negeri Johor. Terima kasih Yang Amat Berhormat. Yang Amat Berhormat juga ada menyatakan mengenai cadangan untuk meminjam pam air dari negeri-negeri yang berkaitan bagi mengepam air termenung keluar daripada kawasan tersebut. Apakah perkembangan bagi cadangan ini? Adakah alternatif lain yang boleh dicadangkan jika perkara ini tidak dapat dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membawa satu persoalan mengenai isu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kerana ramai penduduk-penduduk di kawasan saya mengeluh kerana mereka menggunakan CIQ ini setiap hari untuk bekerja di Singapura. Kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri bukanlah suatu yang baru, malah sudah bertahun-tahun masalah kesesakan ini dilalui oleh rakyat Malaysia terutamanya kira-kira 300,000 rakyat yang bekerja di Singapura. Tambak Johor diakui sebagai antara laluan sempadan antarabangsa yang paling sibuk di dunia. Rekod pada tahun 2022 menunjukkan 70 juta pengguna berulang alik antara Johor dan Singapura
menerusi CIQ. Secara puratanya, sejak pembukaan semula sempadan Malaysia - Singapura pada April 2022, statistik harian keluar dan masuk warga Malaysia juga pengguna di CIQ Bangunan Sultan Iskandar kira-kira 20,211 orang sehari. Manakala kira-kira 28,000 orang di Kompleks Sultan Abu Bakar Iskandar Puteri. Sehingga kini, saban hari CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar mencatatkan peningkatan pengguna yang mendadak. Bukan hanya sekadar mereka yang berulang alik di sebabkan bekerja malah mereka yang masuk di Singapura ke Malaysia untuk melancong dan membeli belah di Johor. Kerap kali kita disajikan dengan keluhan penggunaan CIQ yang terpaksa menempuh situasi sesak luar biasa dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk proses dokumentasi. Walau pun di CIQ Bangunan Sultan Iskandar terdapat kira-kira 50 kaunter laluan motosikal dan 38 kaunter laluan kereta telah disediakan. Manakala CIQ Sultan Abu Bakar pula sebanyak 24 kaunter laluan kereta dan 25 kaunter laluan motosikal disediakan. Ianya masih tidak mampu sebenarnya melonggarkan waktu sedikit tempoh kesesakan di CIQ terutamanya waktu puncak. Ini bukan sekadar menyebabkan kesukaran dan membazir masa pengguna sebaliknya dalam masa yang sama ianya juga sedikit sebanyak memberi kesan buruk kepada prestasi dan reputasi agensi yang berkenaan disebabkan tidak kecekapan proses ini.
Saya juga ingin menyentuh mengenai sistem kaunter pasport di CIQ. Seperti yang dinyatakan ada puluhan kaunter terutamanya di CIQ Bangunan Sultan Iskandar termasuklah kaunter auto lane dan e-Gate. Sebelum ini, kemudahan e-Gate hanya terhad kepada kegunaan atau pemegang pasport rakyat Malaysia sahaja. Namun, mulai 20 Januari 2023 kegunaan e-Gate juga dibuka kepada kira-kira 30,000 hingga 50,000 warga Singapura yang berulang-alik ke Johor untuk tujuan sosial. Secara atas kertas ia dilihat sebagai satu inisiatif yang memudahkan pengguna daripada kedua-dua negara. Tetapi secara realitinya ia menyebabkan lebih kesesakan dan juga situasi tidak puas hati kepada rakyat Malaysia. Seharusnya sistem ini ditambah baik terlebih dahulu kerana penggunaan sedia ada kepada rakyat Malaysia sendiri masih tidak dapat ditampung dan menyebabkan kesesakan. Apabila dibuka kepada rakyat Singapura, ia telah menimbulkan kesesakan luar biasa kepada warga Malaysia terutamanya yang hendak pulang ke Malaysia.
Isu lain yang muncul adalah masih ramai warga Singapura yang tidak menyedari ada syarat-syarat yang dikenakan sebelum mereka boleh menggunakan kemudahan e-Gate berkenaan. Syarat yang ditetapkan adalah hanya pemegang e-Pasport sahaja yang menggunakannya dan mereka perlu menghantar Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dan mengesahkan biometrik di kaunter Imigresen untuk kali pertama. Namun, ramai yang tidak tahu dan terus menggunakan e-Gate ini sekali gus menyebabkan mereka tersekat dan tidak memenuhi syarat tersebut dan lebih banyak masa diambil serta menyebabkan kesesakan pula. CIQ perlu menambah baik sistem ini dan mungkin sebaiknya diasingkan penggunaan e-Gate bagi rakyat Malaysia dan rakyat Singapura supaya lebih adil kepada rakyat Malaysia. Antara cadangan saya hanya beberapa kaunter e-Gate dibuka kepada rakyat Singapura dan bukan semua kaunter dibenarkan. Penggunaan e-Gate ini juga seharusnya ditambah baik supaya proses pengesanan pasport mengambil masa yang lebih singkat kerana banyak rungutan diterima adalah proses scan pasport di e-Gate mengambil masa terlalu lama berbandingkan hanya kira-kira seminit di Singapura.
Isu lain yang ingin saya bangkitkan adalah berkenaan penggunaan bas. Ramai pekerja dari Johor yang bekerja di Singapura menggunakan pengangkutan bas awam seperti Causeway Link. Namun, isu yang disuarakan oleh pengguna bas ini adalah jadual bas yang tidak mengikut waktu yang sepatutnya, menyebabkan pengguna terpaksa bersesak dan beratur panjang untuk menaiki bas. Ini juga menjadi punca kesesakan pada satu-satu masa hanya puluhan orang sahaja dapat menaiki bas dan apabila bas tidak beroperasi mengikut jadual ini menyebabkan ratusan orang terpaksa menunggu bas seterusnya yang entah bila akan tiba. Kita seharusnya melihat beberapa negara maju seperti Jepun, bas atau pengangkutan
awam apabila mereka menggunakan masa, tepat masanya maka datanglah pengangkutan tersebut. Ini perlu dipraktiskan di negara kita kerana kita akan menuju ke negara maju 2030, kita tidak boleh membenarkan sistem pengangkutan awam berada seperti tahun 70-an dan 80-an. Disebabkan itu juga, ada pengguna bas yang terpaksa menaiki bas pekerja atau bas kilang. Walaupun mengikut undang-undang, ianya adalah kesalahan kerana bas pekerja tidak boleh mengambil penumpang lain selain pekerja syarikat mereka sahaja. Tetapi mereka ini tiada pilihan lain dan terpaksa menaiki dan menumpang bas pekerja untuk masuk ke Singapura dan sebaliknya. Saya berharap, kerajaan negeri turut mengambil berat isu jadual bas walaupun perkhidmatan ini digerakkan oleh sektor swasta, namun saya yakin dengan ketegasan daripada kerajaan negeri masalah ini dapat diatasi dan dapat membantu kelancaran perjalanan pekerja di Singapura. Secara tidak langsung dengan perkhidmatan yang sistematik dan berjadual, ia menggalakkan lebih ramai pengguna bas dan mengurangkan kesesakan di laluan motosikal atau kereta.
Saya juga ingin menyentuh mengenai isu berkaitan prasarana di CIQ juga menjadi keluhan dan rungutan. Semua orang berhak mendapat perkhidmatan yang selesa dan menyenangkan. Tetapi apabila terpaksa berhadapan dengan situasi yang kurang selesa sudah pasti rungutan terpaksa disuarakan. Isu ini adalah berkaitan dengan tandas awam di CIQ yang kerap kali menjadi isu kepada pengguna sehingga ada yang memperli tahap kotor dan bau busuk di situ boleh dihidu sehingga ke bandar Johor Bahru. Bukan sahaja bab bau, malah ada tandas yang rosak tidak di selenggara dengan baik yang boleh menyebabkan kecederaan. Inilah agak bertentangan dengan konsep Johor Bersih yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar baru-baru ini. Ini kita perlu hayati bukan sahaja sampah sarap tetapi semestinya kemudahan awam juga perlu diambil kira. Ini bukan satu isu yang remeh, kebersihan adalah lambang dan reputasi pandangan pertama bukan sahaja oleh penduduk Malaysia malah pelawat dari luar negara. Secara tidak langsung ketidaksempurnaan fasiliti ini mampu menjejaskan reputasi negeri Johor apatah lagi lokasinya yang terletak di pintu masuk dan keluar sempadan negara. Saya mohon agar isu ini diambil berat dan ditangani dengan segera.
Persoalan yang ingin saya ajukan adakah kerajaan negeri ada mempertimbangkan untuk menambah baik sistem aliran keluar masuk di CIQ? Dengan memperbesarkan kompleks ini sekali gus membantu dan menambah lebih banyak lagi kaunter Imigresen dan laluan automatik untuk keluar dan masuk ke Malaysia dan Singapura. Yang kedua, apakah bentuk penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam memastikan lebih banyak kepelbagaian mode pengangkutan untuk lalu Johor, Singapura dan adakah relevan sekiranya diperbanyakkan lagi waktu perjalanan bas secara 24 jam. Bagi membolehkan lebih ramai pengguna keluar atau masuk ke Singapura pada waktu bukan puncak, sekali gus mengelakkan kesesakan. Yang ketiga, adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk membina parkir bertingkat berhampiran Kompleks CIQ bagi kegunaan pengguna CIQ sebagai usaha mengurangkan kesesakan laluan motosikal dan kereta kerana parkir sedia ada tidak mencukupi dan menyebabkan banyak kes motosikal disaman dan disita oleh Majlis Bandaraya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tuanku Sultan ada membangkitkan isu mengenai penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di dalam negeri Johor mestilah mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Ramai yang menyalahtafsirkan apa yang dititahkan oleh Tuanku kerana mereka tidak memahami secara konsep keseluruhan peraturan yang disediakan oleh pihak Agama Islam Negeri. Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau yang hendak menganjurkan ceramah agama juga mestilah mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Johor melalui Pejabat Kadi Daerah dan boleh diambil tindakan sekiranya mereka tidak melalui proses ini kerana boleh dianggap bersubahat. Saya amat peka dengan kerisauan Tuanku Sultan memandangkan isu ini bukanlah suatu isu yang baru malahan telah banyak kali berlaku bukan hanya di negeri Johor malah di negeri lain juga.
Malahan baru-baru ini timbul isu mengenai seorang penceramah terkenal yang tidak dibenarkan berceramah di Selangor disebabkan tiada tauliah dan isu ini telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan masyarakat khususnya di media sosial. Seharusnya semua pihak yang terlibat perlu lebih faham dengan prosedur yang telah ditetapkan ini. Ada garis panduan, tatacara atau amalan dan kriteria yang perlu dipatuhi, bukan sebarangan orang boleh menyampaikan ceramah agama walaupun mereka berpakaian mengikut sunnah, menggunakan gelaran ustaz atau mendakwa mereka memiliki ilmu agama yang tinggi. Kesejahteraan maqasid syariah itu perlu demi menjaga kesucian agama. Kita tidak mahu fahaman rakyat yang beragama Islam ini tercemar atau terpesong disebabkan oleh ajaran yang tidak sepatutnya. Tindakan tidak membenarkan penceramah tanpa tauliah memberikan ceramah bukanlah kerana mahu menghalang penyebaran agama sebaliknya mahu menjaga kesucian agama. Bukan baru sekali dua berlaku kes ceramah tanpa tauliah yang kemudiannya diketahui ianya adalah ajaran sesat daripada fahaman sebenar dan pelampau agama malah ada yang menggunakan medan ceramah untuk berpolemik dan berpolitik.
Ini jelas sekali lari daripada konsep ceramah agama yang sepatutnya. Ada yang mengatakan ceramah agama sepatutnya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tidak memerlukan tauliah daripada Majlis Agama kerana itu hanyalah satu peraturan manusia bukanlah peraturan oleh Allah malah ada yang mengatakan pada zaman nabi tidak memerlukan tauliah untuk menyebarkan kebenaran dan berbicara mengenai agama. Inilah dangkalnya ilmu individu yang mendakwa mereka beragama. Pada zaman ini terlalu banyak dakyah agama yang terpesong dan menyeleweng. Menerusi pentauliahan, Majlis Agama boleh menyemak dan menyiasat latar belakang penceramah dan sekali gus menjadi antara kaedah bagi mengawal doktrin dan fahaman yang menyeleweng daripada hukum syarak.
Di Johor sahaja ada beberapa kategori penceramah yang mempunyai tauliah. Antaranya pemegang tauliah sepanjang perkhidmatan, pemegang tauliah 5 dan 10 tahun dan pemegang tauliah mengikut daerah di negeri Johor yang mana secara keseluruhannya berjumlah kira-kira 1,053 orang. Di daerah saya di Pontian sahaja ada 109 penceramah bertauliah, Batu Pahat mencatatkan jumlah penceramah bertauliah paling ramai 182 orang. Ini semua data yang boleh disemak dan diperolehi daripada laman web Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) adalah pihak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam dan menjaga urusan ehwal masyarakat Islam supaya mematuhi hukum syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariatnya berlandaskan mazhab Syafie tanpa menolak mazhab lain serta bertasawuf berlandaskan Imam Al Baghdadi dan Imam Al Ghazali. Tidak seharusnya ada pengecualian dan keistimewaan dalam memberi ceramah atau tauliah khas hanya kerana individu itu seorang tokoh politik atau seorang yang terkenal. Setiap individu perlu melalui proses yang ditetapkan kerana ianya adalah prosedur biasa yang wajib dipatuhi. Hanya satu perkara yang ingin saya sarankan kepada Majlis Agama Islam berilah prosedur yang tertentu, berapa lama perlu diambil untuk kelulusan sesuatu ceramah atau tauliah yang diberikan? Kerana ramai juga yang merungut hantar untuk memohon tauliah jawapannya sehingga tarikh habis cadangan mengadakan ceramah tersebut. Jadi pihak Majlis Agama Islam juga perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan supaya lebih mudah penganjur untuk menguruskan tauliah sesuatu ceramah itu. Justeru itu, saya menyokong saranan dan gesaan Tuanku Sultan yang melarang sebarang bentuk ceramah tanpa tauliah, demi mengelakkan sebarang bentuk penyelewengan agama atau pemesongan fahaman.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada Februari lepas Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ada menyenaraikan beberapa permintaan kepada kerajaan pusat menjelang Pembentangan Bajet 2023. Antaranya melibatkan projek utama yang menjadi fokus Johor iaitu penambahan 6 daripada 4 lorong bagi laluan Yong Peng - Skudai di Leburaya Utara Selatan, pembinaan Sultanah Aminah 2, Projek Tebatan banjir, menaik taraf sekolah-
sekolah di Johor dan memohon usaha dan pertimbangan kerajaan pusat dalam mengatasi kesesakan sempadan Johor dan Singapura.
Syukur ke hadrat Allah, menerusi Pembentangan Bajet Kerajaan Madani pada 23 Februari lepas, hampir kebanyakan daripada permintaan tersebut dipenuhi oleh kerajaan persekutuan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah membuka jambatan Baharu di Sungai Skudai pada 19 Januari yang lepas. Syukur alhamdulillah, ini merupakan satu jaringan terbaik bagi penduduk-penduduk di kawasan DUN saya, Kukup khususnya untuk terus ke Johor Bahru untuk mengadakan beberapa aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.
Apa yang kita lihat setelah beberapa bulan pelancaran jalan tersebut, kita dapati masih banyak lagi kelemahan-kelemahan yang timbul. Antaranya, masih tidak ada papan tanda-papan tanda di jalan menyatakan kelajuan dan juga tidak boleh berhenti di atas jambatan. Beberapa bulan yang berlalu, terlalu banyak accident yang berlaku di atas jambatan tersebut. Kerana apa? Kerana ramai pengunjung yang berhenti mengambil gambar dan menikmati panorama yang indah di Sungai Pulai. Namun yang demikian, ini adalah membahayakan kepada pengguna. Saya menyeru dan menyarankan kepada pihak berwajib supaya langkah keselamatan perlu dijalankan dengan segera dan kita dapati laluan jalan tersebut masih lagi bergelombang kerana dilihat bahawa struktur tanah tersebut adalah kawasan tanah gambut. Hanya beberapa bulan sahaja pembukaan jalan tersebut, sudah ada kawasan-kawasan yang telah rendah dan juga tidak boleh dilalui dengan mudah. Sebab itu, saya berharap kawasan ini dilihat semula kerana ia membahayakan kepada pengguna jalan raya.
Saya juga menyeru supaya kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan supaya melihat jambatan tersebut perlulah ada satu mercu tanda yang sesuai sebagai pintu masuk daripada Kota Iskandar ke Kawasan DUN Kukup. Kerana ia boleh menggambarkan satu suasana penghubung yang cukup baik dan sempurna kerana tidak ada landskap yang menarik menerusi jambatan tersebut. Setidak-tidaknya dalam masa yang terdekat pihak kerajaan negeri juga perlu berusaha untuk menamakan jambatan tersebut supaya ianya boleh menjadi nama yang sesuai bagi penghubung jalan antara DUN Kukup dan juga Kota Iskandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga menyeru kepada pihak kerajaan kawasan-kawasan yang terdapat di kawasan jambatan itu beberapa kampung tradisional seperti Kampung Cokoh, Kampung Permas dan juga beberapa kampung tradisional yang perlu dibangunkan. Kerana ia merupakan pintu masuk untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati dan dikecapi sekali oleh penduduk tempatan. Tambahan lagi, terdapat 2 projek besar yang ada di kawasan tersebut iaitu ATV dan juga janakuasa. Jadi, adalah sesuai kalau kampung-kampung itu dirancang pembangunannya. Tambahan pula, didapati projek Tropicana Industrial Park, dengan izin, akan dibangunkan tidak jauh daripada kawasan tersebut. Ini melihat bahawa sudah ada pembangunan yang cukup besar di kawasan DUN Kukup. Jadi, adalah wajar limpahan nikmat dan juga kemajuan perlu dinikmati oleh penduduk kampung sebab itu kerajaan negeri perlu ada satu perancangan bagaimana kampung-kampung tradisional ini perlu di maju dan diangkat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membawa satu Projek Tebatan Banjir, satu lagi berita baik yang dijangka memberi manfaat kepada rakyat Johor adalah berkenaan isu Projek Tebatan Banjir. Kita sedia maklum mengenai isu banjir yang buruk di Johor, malah saya ada menyebut tentang hal banjir di Johor dalam ucapan saya ini. Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan 6 Projek Tebatan Banjir bernilai kira-kira RM600 juta yang bakal dilaksanakan sekurang-kurangnya pada Jun tahun ini. Antara yang terlibat adalah Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor Kota Tinggi. Saya ingin tahu, apakah tahap, manakah kerajaan negeri peka dan terlibat dalam pelaksanaan projek ini dan
di manakah lokasi lain bagi projek ini dilaksanakan? Berapa lamakah masa yang bakal diambil untuk projek ini siap sepenuhnya dan alternatif yang dirancang bagi memastikan kerajaan negeri benar-benar bersedia sekiranya bencana ini berlaku lagi sebelum projek ini disiapkan?
Yang Berhormat Datuk Speaker, cadangan bagi memperkukuhkan lagi pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan Zon Khas Kewangan dengan pakej imbuhan bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi. Juga antara permintaan yang dipenuhi oleh kerajaan persekutuan yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi negeri Johor.
Koridor ini dimulakan oleh bekas Perdana Menteri yang kelima. Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006 yang menjadi kebanggaan negeri Johor. Terdahulu ianya dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar bersempena nama Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan kemudiannya ditukar kepada Iskandar Malaysia pada 11 April 2008. Sebagai sebuah Wilayah Ekonomi Iskandar Malaysia mencatatkan pencapaian pelaburan yang cemerlang sejak 17 tahun pembukaannya. Iskandar Malaysia mencatatkan pelbagai jenis kejayaan bukan hanya di Malaysia malah di persada antarabangsa. Antaranya menerusi pelaksanaan Iskandar Malaysia Studio, Educity Iskandar, Iskandar Regional Development Area (IRDA) dan sebagainya. Semoga dengan pewujudan Zon Khas Kewangan ini juga mewujudkan keyakinan kerajaan persekutuan terhadap peranan Iskandar Malaysia. Ia mampu memberikan lebih kelebihan kepada negeri Johor dengan menarik lebih ramai pelaburan untuk melabur dan bertapak di Johor serta menambah nilai dan memberi kelebihan kepada wilayah ini sebagai destinasi pelaburan antarabangsa. Saya juga ingin menyarankan kepada IRDA supaya membuat pentafsiran semula berhubung dengan kawasan-kawasan termasuklah di daerah Pontian, adakah ianya meliputi kawasan-kawasan baru ataupun sebaliknya. Sebagai kawasan hijau yang digazet oleh IRDA berkenaan dengan Tanjung Piai, ianya perlu diperjelaskan. Jangan dibiarkan kawasan hijau tanpa diusik, tanpa dibangunkan, tanpa ada pembangunan yang sesuai dengan istilah kawasan hijau IRDA di Tanjung Piai ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga sangat menyambut baik persetujuan kerajaan persekutuan untuk meluluskan peruntukan menaik taraf hospital seluruh negara antaranya termasuklah penaiktarafan dan pemulihan Hospital Pontian yang sudah berusia lebih seabad. Hospital Pontian ini asalnya adalah Kukup Government Hospital yang didirikan pada 5 Jun 1917. Jika dilihat pada keadaan hospital ini, memanglah sangat memerlukan penaiktarafan dan pemulihan secara menyeluruh supaya rakyat sekitar daerah ini boleh mendapat perkhidmatan kesihatan yang jauh lebih baik dan selesa. Dalam masa yang sama, saya juga berharap agar fasiliti hospital dinaik taraf sepertimana bilangan katil serta meletakkan pakar yang lebih ramai staf kesihatan supaya sumber perkhidmatan perubatan dan kesihatan dapat dimaksimumkan untuk menampung permintaan masa depan. Di kawasan Pontian khususnya, kita telah ramai pekerja-pekerja asing yang datang untuk bekerja di kawasan-kawasan industri.
Setakat ini Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak ada satu rancangan pun untuk mewujudkan hospital swasta di Pontian khususnya di DUN Kukup dan juga Pekan Nenas. Saya menyeru kerajaan supaya mengambil inisiatif supaya membangunkan hospital swasta dengan melihat perkembangan semasa kerana ramai masyarakat telah mampu dan mempunyai insurans kesihatan untuk memudahkan mereka menikmati kesihatan di hospital swasta. Inilah yang perlu dipertimbangkan.
Yang Berhormat, 3 minit lagi.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya juga berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang menyalurkan peruntukan
menerusi pengenalan pas perjalanan tanpa had, Mybas 50 untuk manfaat rakyat Johor Bahru yang menggunakan perkhidmatan bas terhenti-henti di program Transformasi Perkhidmatan Bas Terhenti-Henti. Ini dijangka akan memanfaatkan ramai rakyat Johor yang menggunakan perkhidmatan bas ini sama ada bas mini, bas biasa dan juga bas elektrik, di antara bandar utama di Johor dan mengurangkan beban sara hidup mereka terutamanya yang menggunakan perkhidmatan bas ini secara kerap.
Pada masa ini, pelaksanaan Mybas di negeri Johor melibatkan 19 laluan di 5 Koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian melibatkan laluan sepanjang 1,052 kilometer. Dalam masa yang sama saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan SBST ini ke bandar lain di Johor memandangkan projek ini adalah antara projek yang sangat baik dan bermanfaat kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri? Setakat ini apakah statistik pengguna yang telah menggunakan perkhidmatan bas dan berapa ramaikah pula yang telah berdaftar dan menggunakan bas perjalanan tanpa had Mybas 50?
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya bagi membahaskan Ucapan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim. Besarlah harapan saya agar kerajaan negeri yang akan mengambil berat dan berlapang hati untuk menerima segala cadangan dan memberikan jawapan yang konklusif dan konstruktif agar segala perancangan yang dirancang dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini yang telah memilih kita semula untuk kehidupan yang lebih baik. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya mohon mencadang.
Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Dijemput Yang Berhormat Sri Medan.
Bismillahirrahmanirrahim. (Doa.) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berusaha, Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kerana memberi ruang kepada Sri Medan untuk sama-sama dalam sesi perbahasan pada hari ini.
Pertama sekali saya ucap terima kasih juga kepada Kukup yang telah apa, bercerita soal banjir ya sebentar tadi. Bila Kukup cerita tu, sebenarnya bukan mangsa yang sebenar. Tapi bila hari ini, bila diberi peluang kepada Sri Medan, Sri Medan adalah mangsa banjir yang sebenar. Jadi hari ini saya akan bercerita soal banjir sahaja. Saya tak akan keluar daripada tajuk banjir kerana inilah sebenarnya yang berlaku, kesengsaraan rakyat di Sri Medan.
Pertamanya, saya ingin Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Dan juga atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang telah berkenan merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dia ada satu bidalan, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sekarang ni bidalan baru, kalau takut dilanda banjir, jangan berumah di Sri Medan. (Dewan ketawa). Yang Berhormat Datuk Speaker, sejarah banjir di Sri Medan sebenarnya dia terlalu panjang, cukup panjang. Saya ingat bila saya lahir pada tahun 1973, 1986 kita telah melalui suasana banjir. Yang pertama dalam sejarah hidup saya. Pada ketika itu banjir berlaku di Sri Medan, yang mana telah melibatkan hampir keseluruhan rumah-rumah di kawasan DUN Sri Medan, pada tahun 1986. Selepas itu pada tahun 2006, selepas 20 tahun kita menghadapi banjir pada tahun 1986, 2006 kita
menghadapi sekali lagi. Dan pada kali ini setelah 17 tahun kita menghadapi banjir 2 kali pada tahun 2023.
Saya ingat saya ingin mengucap terima kasih kepada semua agensi-agensi yang terlibat terutamanya kepada individu yang amat prihatin kepada nasib rakyat Sri Medan iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Dua kali beliau datang ke Sri Medan untuk melihat sendiri suasana yang berlaku di Sri Medan. Saya ucap terima kasih juga kepada Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan juga kepada agensi-agensi yang bersama-sama kita melalui situasi yang cukup sukar, terutamanya agensi-agensi, jabatan kerajaan yang ada dalam daerah Batu Pahat, Terima kasih kepada Pegawai Daerah, terima kepada JPS, terima kasih kepada JKR, terima kasih kepada SAJ dan Bomba, ramai, kalau nak sebut satu persatu mengambil masa 10 minit saya rasa. Dan saya tak boleh lupa terima kasih juga kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor. (Dewan bertepuk). Ini salah satu agensi yang telah menyelamatkan kita. Mungkin rakan-rakan YB sini yang melalui situasi banjir, contoh di Tenang, contoh YB Parit Raja, mereka mengakui bahawa Majlis Agama Islamlah sebenarnya agensi yang telah menjadi satu badan menyelamatkan kita semua termasuk mangsa-mangsa banjir untuk kita menerima apa juga bekalan makanan di peringkat awal. Ha, itu kita kena akui.
Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga amat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh orang-orang Sri Medan dan juga Parit Sulong. Saya nak nyatakan di sini, di Dewan Negeri Johor bahawa orang-orang Sri Medan memang hebat. Orang-orang Sri Medan memang mereka yang betul-betul kuat semangat mereka untuk menghadapi suasana pada kali ini. Kalau sebelum ini kita pada tahun 1986, pada tahun 2006, tahun 2023, inilah banjir yang paling teruk dalam sejarah yang berlaku di Sri Medan. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mendengar jawapan daripada Yang Berhormat Datuk Menteri Besar pagi tadi, dan saya juga mendengar daripada Rundingan dibawa oleh rakan daripada Kukup, pelbagai rancangan telah dirangka untuk membantu kami semua. Apa yang dirancang daripada 40 tahun dulu hari ini dah tahun 2023, sebenarnya perkara ini berulang kalau Ahli-Ahli Yang Berhormat rakan-rakan saya lihat, ia berlaku 15 atau 20 tahun sekali di kawasan Sri Medan. Kalau dahulu kawasan Segamat, Chaah, Yong Peng memang terkenal dengan kawasan banjir. Tapi dengan terbinanya Empangan Bekok, setidak-tidaknya dapat mengurangkan risiko banjir.
Saya suka berbual dengan kawan-kawan dan masyarakat di kawasan Sri Medan, walaupun kata-kata mereka ini kadang-kadang kita boleh dengar, dan kadang-kadang apa yang mereka katakan kita pun boleh mengambil kira sebagai satu cadangan yang cukup konkrit. Saya ingat sebelum berlakunya Empangan Bekok dibinanya Empangan Bekok, kawasan Sri Medan berlaku banjir pada tahun 1986. Tetapi setelah siap Empangan Bekok pada tahun 1990 kalau tak silap saya Yang Berhormat Datuk Speaker, ia telah dapat mengelakkan kawasan Sri Medan daripada banjir, termasuk pembinaan Empangan Sembrong dan hari ini saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor dan saya pun telah bercakap di peringkat daerah, dengan Pegawai Daerah Batu Pahat disaksikan oleh rakan-rakan Jawatankuasa Tindakan Daerah Batu Pahat, saya mencadangkan kepada JPS, adakah logik untuk dibina Empangan Sri Medan? Saya tak boleh jawab sebagai Wakil Rakyat, kerana ini bukan bidang saya. Tapi saya dah minta kepada JPS untuk memikirkan bagaimana nak mengelakkan kesengsaraan orang-orang Sri Medan berulang lagi? Saya selalu bercakap dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar pun saya bercakap ketika taklimat JPS ke, Pejabat Daerah ya.
Apa yang berlaku kira-kira 2 atau 3 minggu yang lepas ia bukan berpunca daripada air yang semata-mata dari Sri Medan, ia adalah air daripada Segamat dan juga Chaah yang daripada Sg. Lenek turun ke kawasan Sri Medan, kerana kebetulan Sri Medan ini bentuk muka buminya adalah kawasan seperti tadahan. Jadi, bila berlaku seperti yang dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, yang mana kita dengar, yang kita sama-sama dengar,
bahawa hujan dua hari itu seperti hujan sebulan pada ketika itu bila berlaku hujan dua hari, kedudukan di Segamat, di Chaah, kalau dulu masa bulan 1, Balai Polis Chaah pada ketika itu tingginya baru 3 kaki. Untuk banjir yang kali ini, saya ingat melebihi 8 kaki dan saya telah pun mengandaikan dan saya telah maklumkan dengan rakan-rakan di Sri Medan berkemungkinan besar akan berlaku banjir besar di kawasan Sri Medan dan Parit Sulong. Itu yang berlaku Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab itu apa yang kita lalui ini tak sanggup saya untuk kita melihat anak-anak untuk 15, 20 tahun akan datang menghadapi masalah yang sama. Kita cerita soal pembangunan setiap kali Dewan Negeri, 10 tahun saya jadi Wakil Rakyat dah. Kita bina jalan daripada jalan 10, 12 kaki kita nak mintak lebarkan, daripada parit yang tidak cukup dalam kita mintak dalamkan ya, bangunan kalau boleh kita nak bangunan pencakar langit, semua kita mohon, semua kita mintak dengan kerajaan negeri bantu. Tetapi oleh kerana dengan 2 minggu sahaja, berlaku banjir seperti ini, rosak, musnah semua pengorbanan kita selama ini. Bukan kata RM10 juta, saya rasa lebih daripada ratus juta kerugian yang apa ditanggung oleh rakyat Sri Medan. Mungkin Yang Berhormat Datuk Speaker tak sampai ke Sri Medan. Kalau di jalan Kampung Parit Warijo tu dengan tinggi kalau biasa pun banjir, tak lebih daripada paras lutut, tapi hari ini sampai ke bumbung rumah. Saya dah tak sanggup nak melihat. Bila orang tua-tua rasa sedih kita dok membayangkan, sabar cik, sabar. Kita sabarkan, sabarkan. Rupanya itu bukan buat-buat kerana ia berlaku pada diri saya, berlaku pada keluarga saya dan juga pada mak saya sendiri. Tak akan kita nak benarkan perkara ini berulang sekali lagi.
Soal tebatan banjir seperti diumumkan oleh Yang Amat Menteri Besar, kita dengar dah lama dah. EXCO, saya ingat EXCO yang berkaitan Alam Sekitar dah sebut dah. Daripada bulan 10 tangguh bulan 11, daripada bulan 11 tangguh tahun ni. Sampai bila? Sampai bila projek tebatan banjir ini sebenarnya akan dijalankan? 15 tahun dah sungai Simpang Kiri Parit Sulong dah cetek. Kalau dulu Sungai Simpang Kiri, saya ingat kalau kata kita nak berenang pun, saya takut, tapi hari ini orang boleh berjalan kaki, orang ketinggian 5 kaki lebih, ini menunjukkan bahawa sungai tu dah semakin cetek. Bila air turun daripada Segamat dan Chaah, air sungai dah tak boleh mengalir dengan laju, dan tak boleh menampung kadar air yang ada yang turun daripada Segamat dan juga Chaah. Saya ingat pihak JPS kena ambil berat, tak boleh menangguhkan, melewat-lewatkan, kerana ini memberi risiko kepada kita semua. Saya tak sanggup Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau hari ini saya cakap dengan rakan-rakan saya di Sri Medan, saya akan cerita soal banjir. Tak kan setiap kali Wakil Rakyat berubah banjir kita akan cerita lagi, soal banjir, banjir, banjir. JPS ataupun Jabatan Metrologi ya, saya rasa kalau kata ramalan cuaca yang lepas, tak ada seorang pun yang boleh memberitahu kita bahawa hujan lebat akan berlaku dua hari. Bagi tahu saya, selepas itu baru dia maklumkan lusa ini mungkin akan hujan lebat tok. Lusa tahu, kenapa 2 hari tu tak tahu? Kita tak bersedia, tak bersedia untuk melalui situasi sukar ini. Kelam kabut jabatan-jabatan, Pejabat Daerah, JKM, JKM pun saya lupa sebut. JKM, semua kelam kabut, tentera, Polis, tetapi itulah yang kita lalui. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon jasa baik ya, selepas kita melalui situasi yang sukar, selepas ini rakyat pulak menghadapi pasca banjir, apa kita nak bantu? Apa kerajaan negeri boleh bantu rakyat di Sri Medan?
Kita dapat juga Pekeliling daripada NADMA, bantuan RM1,000.00 kepada mereka yang berpindah, mereka yang tidak berpindah, keluar Pekeliling daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, terima kasih, tadi diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. RM300.00 ya, daripada kerajaan negeri. RM1,000.00 daripada NADMA, RM2,500.00 kerosakan barang letrik, RM5,000.00 kalau ada kerosakan rumah. Bila? Bila kita boleh dapat bantuan-bantuan untuk rakyat. Bila? Saya dimaklumkan 3 bulan, 4 bulan, kalau Yang Berhormat Datuk Speaker, saya boleh bawak Datuk Speaker kalau Datuk Speaker pun terlibat dalam banjir saya tahu. Datang Sri Medan tengok ya. Datang Sri Medan tengok macam mana mereka hari ini kalau balik rumah boleh menitiskan air mata. Kerana mereka rasa sedih, sayu melihat keadaan rumah-rumah mereka. Tapi kalau kita umumkan RM300.00 ke, RM1,000.00 ke, RM2,500.00 ke, RM5,000.00. Waima berapalah
RM10,000.00, saya rasa RM5,000.00 pun tak cukup untuk Sri Medan. Saya ingat kalau rumah emak saya, 90% total loss, 90%. Perabot, apa semua dah tak boleh guna dah. Bila masa ni, kedai perabot yang untung Yang Berhormat Datuk Speaker. Sampai semua stok dah tak ada. Cuma Parit Sulong saya nak umumkan ini ada perabot jati tu yang ada tu penuh daripada Indonesia dia datang. Dia pandai ambil kesempatan sampai dia tahu bahawa orang Parit Sulong, Sri Medan memang tengah mencari perabot-perabot semua.
Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, soal bantuan kita umumkan macam manapun, kita hebahkan macam mana pun, tolong segerakan. Dan juga satu lagi, yang berdaftar dan tidak berdaftar saya setuju dengan saranan Yang Amat Berhormat Menteri Johor, bila kita menghadapi banjir PPSnya, bila dalam keadaan mengejut semua. Satu PPS tidak boleh menampung sampai 100 keluarga, terpaksa berpindah randah sana sini kita buka sub PPS dan sebagainya, ada juga yang tertinggal daripada berdaftar. Mereka pun menghadapi banjir, macam mana kita nak menangani situasi ini? Sebab itu kerjasama daripada yang disebutkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, daripada Pejabat Daerah, daripada Penghulu, daripada Ketua Kampung amat-amat diperlukan pada ketika ini. Wakil Rakyat, Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tahu kita tidak mencampuri urusan tentang pendaftaran dan sebagainya. Kita cuma memudahkan cara untuk mereka berdaftar. Kerana ini kita tahu tanggungjawab kerajaan. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya harap dalam kita nak melayani karenah manusia pada hari ini, kita perlu menjadi seorang manusia yang paling, paling lembut hati, yang terbuka kerana kita tidak mahu rakyat bertambah sengsara dengan apa yang berlaku pada hari yang lepas. Itu yang kita harapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada bantuan-bantuan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya amat bersetuju dan saya terima kasih sebab tu rakan-rakan EXCO yang ada di hadapan saya selepas ini, semak satu-satu agensi-agensi yang di bawah EXCO-EXCO apa yang boleh dibantu. Apa yang boleh dibantu orang Sri Medan? Apa yang boleh dibantu untuk orang Segamat, Chaah? MAIJ, eh, terima kasih Farid. Apa yang boleh dibantu? Contoh, cikgu-cikgu sekolah, bangunan sekolah digunakan sebagai PPS, WhatsApp kepada YB, macam mana YB, minta tolong YB, bantu kerana kerusi meja yang rosak kerana banjir, tak kan YB juga yang kena, mana Kementerian? Jabatan Pendidikan Negeri Johor, tak ada data ke PPS ke yang ada sekolah kena masuk banjir, uruskan. EXCO Usahawan, orang Parit Sulong yang meniaga dah habis dah, orang Sri Medan yang meniaga tepi jalan dah habis dah, stall ke apa modal nak bulan puasa dah tak ada, macam mana nak bantu? Macam mana nak bantu mereka semua? Kalau kata yang jaga EXCO, yang jaga PBT macam mana nak bantu peniaga-peniaga yang dah rosak barang-barang apa, perniagaan dan sebagainya. Adakah kita boleh kecualikan daripada bayar sewa setahun? Adakah kita boleh kecualikan daripada membayar cukai? Kerajaan bantu, fikirkan, macam mana nak mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir.
Soal nak sekolah, saya tahu, yang daftar pada IPTA, berdaftar nak pergi sekolah menengah dan sekolah rendah. Hari ini bantuan daripada kerajaan, terima kasih, ada YPJ, ada Baitulmal dan sebagainya, adakah dengan bantuan itu mencukupi atau tidak untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang dah tak ada apa-apa pun dekat rumah mereka. Terputus bulanan, gaji tak ada dan sebagainya, boleh tak tolong fikirkan. Saya kalau EXCO daripada Pertanian memang biasalah, dia akan terlibat dalam kerosakan pokok-pokok, buah-buahan dan juga tanaman dan sebagainya, PBT macam mana sepatutnya membantu, YB EXCO Alam Sekitar, EXCO Wanita, semua, kalau kita harapkan daripada kerajaan persekutuan dengan kekuatan kewangan kita, eh malulah. Kalau kita tak boleh nak menanggung rakyat di kawasan Sri Medan terutamanya. Lebih umumnya rakyat yang terlibat di negeri Johor, malu, saya ada 63 PPS, 5,675 ketua isi rumah ramai, 20,000 lebih mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Saya ucap terima kasih pada 2 hari lepas, Majlis Bandaraya Seberang Prai, hantar jentera lori dan sebagainya dia hantar, tapi mana ya kawan-kawan kita yang lain kat luar sana, 5,675 ketua isi rumah bermaksud ada 5,675 buah
rumah. Saya tanya dengan mereka yang datang daripada Seberang Prai, satu lorong tu, saya tanya dah berapa banyak yang dibawa keluar barang-barang yang rosak? Satu lorong dia pergi dalam panjang tu 50 meter dah 12 roro bin, satu lorong pendek saja, kalau macam ni, kalau kita tak seru rakan-rakan daripada luar untuk bantu bila kita pula nak mengembalikan kehidupan kita seperti biasa?
Kita dah menghadapi anak-anak masuk IPTA, kita dah menghadapi anak-anak mula bersekolah, kita menghadapi bulan puasa orang nak berniaga, kita menghadapi hari raya, saya ingat hari raya tahun ni dah tak ada Yang Berhormat Datuk Speaker dah, kita anggap raya tak ada lah kita tangguhkan tahun depan, cuma kita meraikan kemenangan kitalah, itu saja, dah tak boleh buat apa dah. Maka, tuan-tuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, datanglah, datanglah ke Sri Medan, datanglah ke Tenang, datanglah tempat kawan-kawan saya yang lain, anda rasalah sendiri, hari ini kalau kata saya nak ambil video pun, di Jalan Parit Warijo, rumahnya tenggelam hampir 99%, kecuali satu rumah saja ada kaum Cina kan rumah dia tinggi tu tak tenggelam. Kita tak sampai hati. Video itu kita nak tunjuk pun ketika mereka masih di PPS pun kita tak sanggup kerana apa kita tak nak mereka sedih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tugas kerajaan juga bukan mudah. Kita jangan anggap nanti kita lupa bila banjir dah selesai kita masing-masing buat kerja, kerajaan kena buat post mortem semula. Selain daripada soal hujan, apa sebenarnya kejadian ini boleh berlaku? Bijak pandai ramai, orang yang belajar tinggi pun ramai, tak kan mereka yang bijak pandai tak boleh memikir satu yang di luar kotak pemikiran, beyond excellent, macam mana nak menyelesaikan masalah banjir di kawasan Sri Medan. Wakil Rakyat bersilih ganti, Wakil Rakyat yang baru pun sama juga. Kita tak hendak perkara sebegini berlaku, bantulah kita. Kenapa berlaku? Macam mana benda ini boleh berlaku? Macam mana kita nak elak kan? Perkara ini jangan kata Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tak terlibat hari ini dia kata “Tak apa kawasan saya tak terlibat”. Satu hari akan terlibat. Satu hari mungkin terlibat. Tak kan lah sekadar mengikut prosedur kewangan sehingga memakan masa berbulan, sepatutnya kita ada seperti dimaklumkan oleh EXCO Alam Sekitar, kita ada Datuk kita ada RM42 juta untuk kita program tebatan banjir di kawasan Sungai Simpang Kiri. Tapi bila lamanya nak buat, kita ada membina rumah pam Yang Berhormat Datuk Speaker, 8 buah rumah pam tapi bila, saya bercakap ulang-ulang akhirnya saya seperti menipu rakyat. Sebab tu, tolonglah, ambil perhatian, anggaplah bencana ini sebagai darurat. Yang terpaksa kita lalui bukan kata untuk kita apa, perjuangan kita untuk membantu rakyat kalau kata Tuanku sebut titah 24,000 keluarga terlibat, 75,000 mangsa terlibat, bukan kita boleh anggap itu sebagai satu gurauan. Cakap-cakap kosong. Itu sebenarnya adalah satu yang perlu kita ambil sebagai satu perkara yang cukup serius supaya perkara itu tidak berulang lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ada sebut tadi tentang bantuan-bantuan daripada EXCO-EXCO, saya ingat kalau kata selepas Dewan ini, kalau kata EXCO-EXCO ada apa-apa juga bentuk bantuan yang boleh dimaklumkan kepada orang Medan kasi dia ringan sikit, TNB, SAJ pun semua bantu ni. TNB kena bantu nak bagi rebat ke apa ke, kena bantulah. TNB, SAJ, kena ambil tanggungjawab. Kena ambil tanggungjawab bagaimana nak meringankan bebanan orang-orang mangsa-mangsa banjir di Sri Medan. Kena tanggungjawab. Jangan kata, bukan kata kita nak tengok TNB tak untung, SAJ tak untung, bukan, tapi hari ini kita perlu anda. Bila kita perlu anda kena hulurkan bantuan. Jangan lepas tangan kerana kita tidak mahu rakyat kita terus sengsara dengan keadaan yang menimpa mereka sebelum ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berapa minit, oh, tiga minit. Saya melihat bahawa bantuan-bantuan yang ada di peringkat kerajaan persekutuan, yang terakhir, dan juga di kerajaan negeri, perlu selaraskan, jangan ada bertindih, dan juga sukarelawan yang membantu tu perlu diselaraskan sebaik-baiknya. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi melepaskan 500 sukarelawan untuk kawasan Batu Pahat. Saya rasa itu tak cukup lagi. Kita dah tak ada soal sana pembangkang ke, sini kerajaan ke, tak ada YB. Kalau
YB boleh hantar, Tangkak boleh hantar 10 orang pun saya terima, Perling boleh hantar 5 orang pun saya terima, kerana apa kita nak semua merasai, menjiwai rakan-rakan kita yang menjadi mangsa. Sama-samalah bantu. Ini kemanusiaan. Jadi saya pun hari ini belum tutup lagi PPS Yang Berhormat Datuk Speaker, belum tutup lagi. Jadi, saya rasa tak tergamak saya nak meninggalkan rakyat saya di DUN Sri Medan. Tak tergamak. Saya duduk sini, kadang saya masuk facebook pakai tali leher, orang sana nak cari baju pun dah susah. Baju terpaksa orang bagi.
Saya dalam perbahasan ini, saya memohon, saya sebagai ADUN Sri Medan mohon pengecualian untuk saya hadir dalam Dewan Negeri sehingga hari Rabu ini. Saya mohon pengecualian. Ramai lagi mereka yang kat sana yang perlu, perlukan kita untuk kita bantu. Kalau kita ada insya-Allah, kerana mereka tahu mereka kenal Wakil Rakyat. Saya minta untuk dikecualikan untuk hadir Sidang sehingga hari Rabu ini untuk saya menguruskan rakyat saya di DUN Sri Medan. Masih ada lagi, masih ada lagi mereka di PPS, masih ada lagi mereka yang kita kena uruskan dengan JKM dan sebagainya. Jadi, saya harap Dewan Negeri Johor dapat meluluskan permohonan saya, saya akan buat secara rasmi kerana inilah salah satu daripada pengorbanan kita sebagai Wakil Rakyat untuk kita bersama rakyat ketika mereka susah. (Dewan bertepuk). Ketika mereka susah kita kena sama-sama.
Jadi saya ucap terima kasih sekali lagi kepada semua rakan-rakan YB yang ada niat nak datang, yang dah datang, yang ada niat teruskan niat yang baik untuk datang Sri Medan, kepada Yang Berhormat Datuk Speaker terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Itu saya akui memang dia menunjukkan keprihatinan yang cukup tinggi dengan rakyat di DUN Sri Medan dah dua kali dia datang dah. Alhamdulillah, terima kasih, jadi EXCO-EXCO teruskan apa yang saya minta tadi saya harap kita dapat maklumkan dengan mangsa-mangsa banjir di kawasan Sri Medan. Saya rasa itu saja, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada saya, terima kasih kepada Kukup, saya menyokong rundingan yang Kukup bawa dan kita harap apa yang berlaku pada hari ini ia tidak akan berulang di masa-masa yang akan datang. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Sri Medan, sesungguhnya apa yang dinyatakan adalah benar dan semuanya adalah benar. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah masa untuk kita tunjukkan muafakat Johor. Muafakat itu berkat. Kerana di bawah sana masih ada insan-insan yang berebut baju bantuan yang dihantar ke PPS-PPS. This is real. Johor sedang diuji dan kita memegang amanah, gunakan cara yang terbaik. Terima kasih Sri Medan. Selanjutnya kita teruskan dengan menjemput Stulang untuk 30 minit.
Terima kasih Datuk Speaker, Stulang ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih pada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana berangkat ke Dewan dan bertitah merasmikan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15. Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk membahaskan Titah Tuanku di Dewan yang mulia ini dan ini merupakan kali pertama saya berucap di Dewan ini sebagai Pengimbang ataupun Pemeriksa. Tuanku juga bertitah bahawa gelaran Pembangkang yang diberikan kepada Ahli Dewan di pihak bukan kerajaan adalah kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan. Mereka bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.
Namun begitu, janganlah pula ada sikap membalas dendam atau suka mencari salah kerajaan. Keadaan politik yang stabil inilah terus dikekalkan dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan negeri Johor. Patik menjunjung kasih atas pengiktirafan Tuanku berkenaan dengan peranan Ahli Dewan bukan kerajaan. Kestabilan yang diharapkan oleh
Tuanku pasti boleh menjelma sekiranya adanya kerjasama yang lebih intim termasuk agensi-agensi dan para pegawai pelaksana.
Biar pun apa nama pun, saya rasa komitmen dan peranan kami untuk berkhidmat adalah pasti dan semangat berbakti kepada Bangsa Johor, kami tidak pernah pudar. Bukan sekadar pengimbang, kami juga menawarkan diri sebagai pelengkap dan rakan strategi dalam menterjemahkan semangat perpaduan yang lebih akrab ini, inisiatif yang saya rasa kedua-dua pihak boleh menerima adalah seperti berikut :
MB atau EXCO boleh mengajak Ahli Dewan bukan kerajaan menyertai apa-apa mesyuarat atau taklimat yang dirasai sesuai dalam membincangkan isu rakyat. Terima kasih kepada EXCO Tenggaroh kerana mengajak dalam mesyuarat dan taklimat juga.
Dan yang kedua, MB atau EXCO boleh mengajak kami turun padang sekali, apabila perlu. Terima kasih kepada Menteri Besar atas jemputan tadi Majlis Pelepasan Konvoi Pasca Banjir. Saya rasa inilah semangat yang kita telah tunjukkan dan terima kasih kepada EXCO Tenggaroh juga kerana menjemput dalam Mesyuarat dan Tinjauan Tapak untuk menyelesaikan masalah banjir dan saya rasa para pegawai belah sana pun rasa selesa kerana tidak ada tekanan politik.
Bagi yang ketiga, bagi pihak kami pula kami akan sentiasa, di barisan kami, sentiasa memberikan input atau pandangan, cadangan yang pasti berguna untuk pembangunan.
Yang keempat, kami juga mengharapkan peruntukan kepada pihak Ahli Dewan Bukan Kerajaan yang cukup untuk pentadbiran dan pemberian terus.
Kami menyambut baik dan menyokong penuh penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Iklim Dan Pengurusan Banjir. Saya pasti Jawatankuasa ini mampu membantu Johor dalam menghadapi banjir monsun, banjir hujan lebat atau banjir kilat di samping menjalin kerjasama by partism. Terima kasih atas keputusan Menteri Besar untuk menubuhkan Jawatankuasa ini.
Tuanku juga bertitah, “dengan sokongan dan kerjasama yang padu antara kerajaan negeri dan persekutuan, saya percaya Johor akan maju, membangun dan semua rakyatnya akan kecapi hidup sejahtera”, ini titah Tuanku. Harapan kami adalah kerjasama baharu, BN dan PH di peringkat persekutuan boleh dijadikan panduan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian agar muafakat yang matang boleh dijalinkan untuk membincangkan hala tuju pembangunan negeri dan melaksanakan segala pelan dan cadangan.
Keikhlasan kerajaan perpaduan persekutuan terhadap Johor terbukti dalam Belanjawan Madani 2023 di mana beberapa projek pembangunan penting telah pun digariskan. Antaranya adalah naik taraf Lebuh raya Yong Peng - Senai, Lebuh raya Senai - Desaru, Projek Tebatan Banjir, naik taraf hospital, Zon Kewangan Khas, Mybas 50 tambahan. Kemudian 2 hari yang lepas, Perdana Menteri juga telah menambah peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta bagi Projek Pasca Banjir Johor. Ini merupakan satu suntikan kewangan dan juga semangat kepada Johor. Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, demi memacu dan mengukuhkan ekonomi Johor secara holistik dan mampu menjana kesan ekonomi berantai yang menyeluruh, saya rasa inisiatif berikut perlu direalisasikan. Di sini saya akan sentuh 2 inisiatif. Yang pertama, syarat MM2H, perlu dikaji semula dengan syarat kewangan yang lebih rendah. Program MM2H bermula pada tahun 2002, dibekukan pada tahun 2020 dan dihidupkan semula pada 2021 dengan syarat yang lebih ketat. Stulang mencadangkan agar syarat kewangan yang lebih rendah perlu diperkenalkan agar program MM2H betul-betul mencapai objektif dasar dan
pelaksanaan. Selepas mengalami kancah ekonomi akibat pandemik COVID, Malaysia dan Johor amat memerlukan suntikan ekonomi tarik pelawat asing. Program MM2H dengan syarat yang berpatutan mampu menarik para pelancong yang berkualiti dari luar negara untuk menetap atau berada di Malaysia untuk jangka masa yang lebih panjang. Mereka akan membantu sektor hartanah Johor dari segi penjual rumah dan apabila mereka hidup di sini, mereka akan berbelanja dan menjana peluang pekerjaan serta melipatgandakan kesan ekonomi dalam sektor pendidikan, kesihatan, pengangkutan, perabot, perkakasan, perumahan, hiburan, makanan, minuman selain itu, pelancongan, perniagaan runcit dan perkhidmatan kewangan. Jadi secara kumulatif, mengikut data yang ada, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion sejak 2002 sehingga 2019. Buat masa ini, ramai orang asing yang berminat untuk memohon merasai syarat MM2H terlalu ketat.
Syarat MM2H sekarang adalah seperti berikut :
1. Pendapatan bulanan adalah sekurang-kurangnya RM40,000.00 berbanding RM10,000.00 sebulan sebelum ini. 2. Angka atau simpanan yang melebihi RM1 juta. 3. Pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta. 4. Fee proses sebanyak RM5,000.00 bagi prinsipal serta RM2,500.00 bagi setiap tanggungan. 5. Tempoh kumulatif peserta perlu berada di dalam negara sekurang-kurangnya 90 hari setahun.
Jadi, cadangan Stulang berkenaan syarat yang lebih longgar adalah, cadangan saya adalah. pendapatan bulanan RM25,000.00. Angka atau simpanan melebihi RM500,000.00 sahaja, tak payah RM1 juta. Aset cair sekurang-kurangnya RM1 juta. Fee proses sebanyak RM5,000.00 untuk prinsipal sahaja. Tanggungan mungkin tidak payahlah. Kemudian untuk tempoh 90 hari berada di Malaysia, saya setuju. Justeru itu, saya menyarankan kerajaan persekutuan dengan agensi yang berkaitan KDN, Imigresen boleh mengadakan perbincangan yang cepat agar syarat-syarat MM2H boleh dilonggarkan demi menjana impak ekonomi yang memberangsangkan.
Pada 25 September 2001, Tuanku juga bertitah,”kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan syarat lama dengan membuat beberapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi agar syarat ketat MM2H boleh disemak segera”. Dalam hal ini juga kerajaan Johor boleh terus memainkan peranan untuk meyakinkan kerajaan persekutuan. Yang Berhormat Menteri Besar dan EXCO Perumahan juga pernah mengetengahkan kenyataan berkenaan dengan keperluan longgarkan syarat-syarat MM2H.
Walaupun visa ini merupakan visa lawatan yang menawarkan visa jangka panjang, ia tidak akan menimbulkan kewangan, masalah kawalan imigresen kerana ia perlu melalui kriteria-kriteria tertentu seperti semakan rekod jenayah di mana ia sukar disalahgunakan oleh mereka yang tidak genius. Jadi kalau syarat MM2H terlalu ketat maka kita akan hilang peluang menjana punca ekonomi. Kalau terlalu longgar maka timbul isu kawalan jugalah sebagaimana yang saya sentiasa ibaratkan di Persidangan yang dulu. Nak buat apa-apa pun kalau kita tangkap burung, terlalu ringan burung lepas, kalau terlalu ketat burung mati.
Yang kedua, Zon Khas Kewangan. Tuanku juga menyahut baik cadangan kerajaan persekutuan bagi mewujudkan Zon Khas Kewangan di Iskandar Malaysia yang akan menarik lebih ramai pelabur. Kami menyambut baik inisiatif ini kami berharap Zon Khas Kewangan dengan pakej imbuhan berdaya saing di Iskandar Malaysia boleh dilaksanakan secepat mungkin agar mampu menarik lebih ramai pelabur dan pekerja berpengetahuan untuk bertapak di Johor sebagai destinasi pelaburan antarabangsa. Johor perlu diakui,
Johor merupakan salah satu negeri yang paling diminati oleh pelaburan dengan telah menarik FDI sebanyak RM70 bilion pada tahun 2022.
Kedudukan Johor yang berdekatan dengan Singapura merupakan salah satu USP, Unit Selling Preposition, dengan izin, kemasukan pelaburan asing ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan di Johor. Contohnya, sekiranya Singapura melabur dan beroperasi di zon khas Johor sama ada mereka mengekalkan HQ di Singapura atau tidak dengan menawarkan gaji yang hampir setara maka rakyat Malaysia bekerja di Singapura boleh balik ke Johor untuk bekerja. Dengan Zon Khas ini, Johor mesti memastikan adanya unsur pemindahan teknologi, peluang pekerjaan yang bernilai tinggi demi menangani isu Brain Drain. Ini boleh dicapai dengan memberikan insentif cukai pada para pelabur asing yang memenuhi kriteria seperti integrasi dengan rangkaian pembekal tempatan dan kewujudan kluster industri baharu.
Limpahan ekonomi dalam sektor hartanah juga lumayan kesan rantaian ke sektor lain juga mampu membawa ekonomi Johor ke tahap yang lebih tinggi. Jadi, adalah diharapkan dengan pertumbuhan ini dengan adanya Zon Kewangan Khas ini, pertambahan pendapatan dapat dijana kepada kerajaan persekutuan dan seterusnya menyalurkan lebih banyak peruntukan khas kepada Johor berlandaskan pendapatan lebihan yang dikutip. Saya rasa ini win-win situation.
Demi merancakkan dan mempercepatkan pelaburan tersebut, setiap agensi yang terlibat seperti IRDA, Invest Johor, MITI, MIDA, JETCO, PBT perlu mempunyai koordinasi yang konsisten agar Johor boleh memanfaatkan Zon ini dengan sebaik-baiknya. Jadi, tadi saya cerita tentang MM2H dan Zon Kewangan Khas. Sebenarnya, Zon Kewangan Khas ini dan Program MM2H boleh saling compliment. Maknanya, dasar Program MM2H boleh diperbaiki supaya ia bukan sekadar menarik para pelancong yang seolah-olah datang bersara sahaja. Maknanya Zon kewangan Khas dan dasar MM2H boleh dimanfaatkan antara satu sama lain demi mengoptimumkan impak kedua-dua dasar tersebut. Ia boleh diperbaiki dengan memasukkan klausa yang melayakkan mereka sebagai pemegang visa MM2H sekiranya mereka adalah expatriate yang melabur di Zon Kewangan Khas. Dengan ini mereka akan membawa keluarga bersama dan berbelanja lebih. Dan saya rasa kedua-dua inisiatif ini kalau diperbincangkan dengan cepat dan ada keputusan yang memberangsangkan saya rasa pasti ekonomi Johor akan balik ke landasan yang betul.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor dilanda banjir, bencana banjir cukup serius baru-baru ini. Saya sendiri pun mengambil bahagian dalam kerja penyelamat, pembersihan dan pembinaan semula keluarga-keluarga. Terima kasih kepada semua petugas-petugas barisan harapan, pegawai-pegawai kerajaan yang telah mengorbankan masa untuk membantu mangsa banjir. NGO-NGO dan masyarakat yang prihatin baik dari negeri Johor mahupun dari seluruh Malaysia yang menawarkan diri untuk membantu juga patut diberi penghormatan dan penghargaan kerana mereka sama-sama memikul tanggungjawab untuk mengharungi cabaran ini.
Saya mengalu-alukan inisiatif PDRM yang membolehkan mangsa bencana membuat laporan Polis atas talian bagi kes kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait dengan jenayah. Saya rasa inisiatif yang baik dan cadangan seterusnya saya amat bersetuju dengan Sri Medan bahawa SAJ perlu lakukan sesuai yang cadangan pertama saya adalah, pengecualian bil air untuk bulan Mac bagi kawasan banjir kerana mereka menghabiskan banyak air mentah untuk membasuh rumah. Ia sebagai satu tanda kita bersama dan prihatin terhadap mereka.
Yang kedua, melibatkan semua Wakil Rakyat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana. Saya rasa ini boleh lihat dengan jelas bagaimana setiap Wakil Rakyat memainkan peranan masing-masing apabila berlakunya bencana. Melibatkan semua Wakil Rakyat, Parlimen,
ADUN dan sebagainya akan memastikan persefahaman yang lebih akrab kerana dalam pengurusan bencana masa itu sangat penting. kita bekerja dengan masa. Jadi keberkesanan dalam mengharungi setiap fasa adalah penting, fasa banjir, fasa menyelamatkan, fasa pembersihan dan fasa pemulihan. Saya rasa semua ini perlu dilaksanakan dengan lebih teratur yang melibatkan semua Wakil Rakyat.
Yang ketiga, kerja pungutan sampah longgok di tempat perumahan dan tapak transit sementara perlu diuruskan dengan cepat bagi mengelakkan penularan jangkitan kuman. Terima kasihlah kepada EXCO Perumahan yang banyak membantu isu ini dalam memantau sampah longgok dan tapak pelupusan sementara untuk sampah tersebut, terima kasih.
Kemudian, suntikan RM150 juta Pasca Banjir Johor oleh Perdana Menteri, saya rasa boleh dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mangsa banjir. Saya mencadangkan kerajaan Johor agar menggunakan sebahagian peruntukan tersebut untuk subsidi pembelian perkakasan elektrik atau perabot. Selain itu, boleh juga bekerjasama dan menggalakkan para peniaga elektrik, perabot atau pasar raya mengadakan jualan yang mirip konsep Menu Rahmah, di mana barangan keperluan keluarga yang boleh dijual dengan harga yang lebih murah kepada penduduk.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengetengahkan Menu Rahmah mesra, Menu Rahmah untuk mengurangkan kos sarap hidup. Jadi, dalam saat yang genting ini, saya rasa mangsa banjir perlu dibantu untuk membina semula rumah halaman mereka kerana dalam musibah banjir ini ramai telah hilang keringat simpanan mereka yang diusahakan puluhan tahun. Habis dalam masa sehari, dua hari. Habis simpanan, keringat mereka sejak puluhan tahun yang lalu.
Yang kelima, cadangan saya, saya rasa EXCO JPS pun ada sentiasa tengah mengusahakan ialah, saya rasa tahap kemusnahan akibat banjir kilat juga tidak kurangnya serius berbanding dengan banjir monsun, banjir air pasang, banjir dan sebagainya, kerana banjir kilat ini dia berulang-ulang, mungkin setahun 2, 3 kali. Justeru itu, saya harap PBT, JPS setiap daerah boleh mengenal pasti spot banjir kilat di setiap daerah dengan tempat dan mencari jalan penyelesaian yang holistik dan dipantau dari semasa ke semasa. Dan ini saya harap pada masa yang akan datang baik persekutuan atau pun negeri, bolehlah memperuntukkan lebih banyak peruntukan kerana ini kepada JPS untuk saluran ini kerana kita perlu menyelesaikan masalah banjir.
Saya juga amat setuju dengan pandangan Kukup yang tadi mengetengahkan isu kesesakan di Tambak Johor dan CIQ. Dan saya rasa, saya tidak pernah tidak menyentuh isu Tambak Johor dan CIQ dalam perbahasan di Dewan Negeri sejak beberapa tahun ini. Dan untuk CIQ ini, ada 3 perkara yang saya rasa yang saya perlu bangkitkan di sini dan saya amat setuju dengan Yang Berhormat Kukup.
Yang pertama, perkongsian data mentah. Saya rasa, selain melaksanakan penambahbaikan yang telah dirancang melalui teknikal working group yang ada sekarang, melaksanakan segala penambahbaikan, saya rasa salah satu inisiatif yang perlu kita mula sekarang iaitu perkongsian data mentah. Perlu bermula sekarang. Kita tidak boleh lagi bermula dua tiga tahun yang akan datang, kerana data yang dikutip di Bangunan CIQ, Imigresen, Kastam, JPJ, KDN, PDRM dan sebagainya, data mentah tersebut merupakan data yang paling tepat yang paling berguna kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Jadi, saya rasa kita perlu mulakan perkongsian data mentah antara jabatan. Jadi saya memohon agar semua agensi yang berkaitan boleh mengadakan suatu mesyuarat khas penyelarasan untuk merangka bagaimana data setiap jabatan di pintu masuk CIQ ini boleh dikongsi bersama agar pada masa depan kita boleh menggunakan artificial intelligence dan big data untuk memproses data agar kerajaan boleh membuat keputusan yang tepat berkenaan dengan pelaburan, pelancongan, keselamatan dan sebagainya kerana banyak negara telah pun melaksanakan
dasar ini. Jadi, mohon semua agensi yang berkaitan, duduk bersama membincangkan perkongsian data dan pemprosesan data.
Yang kedua, saya setuju juga iaitu tandas. Pintu masuk tandas di CIQ tidak boleh kotor. Dan sekarang masih lihat lagi tidak up to the standard. Jadi saya rasa sejajar dengan Johor Bersih, sejajar dengan inisiatif Menteri, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan yang inginkan tandas yang bersih dan wangi dan saya rasa kita perlu menaik taraf atau pun memperbaiki keadaan sedia ada. Jadi, saya mohon KDN yang menyelia bangunan untuk baik pulih kebersihan tandas di pintu masuk CIQ kerana ini merupakan imej negara Malaysia dan Johor.
Yang ketiga, berkenaan dengan ketidakcukupan..
Stulang, panjang lagi?
Tak, tak. 2 minit lagi, boleh?
Ok.
Yang ketiga, JB Sentral, yang ketiga tadi Kukup juga ada menyentuh tentang ketidakcukupan parking. Saya rasa mungkin, saya rasa, saya memohon kepada pihak JKR untuk mengkaji sama ada boleh tak, JB Sentral dengan kedua-dua sayapnya atau adakah kita boleh tambah tingkat. Sekarang, saya rasa hanya 4 tingkat. Adakah boleh tambah, 2 atau 3 tingkat lagi? Ya, ke atas supaya ada tempat lagi untuk kita buat parkir. Saya rasa, harap mohon JKR mengkaji kalau boleh adalah baik, saya rasa kita boleh mengurangkan kesesakan, ketidakcukupan parkir di CIQ, BSI.
Jadi, kesimpulannya, sebagai barisan pengimbang, kami mengharapkan kerjasama lebih akrab dengan MB, EXCO, para pegawai pelaksana. Dan yang kedua, kami mengharap, saya harapkan kita boleh, kerajaan boleh longgarkan syarat MM2H dengan segera dan Zon Kewangan Khas di Johor perlu dilaksanakan secepat mungkin dengan memastikan kita ada kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi. Dan, berkenaan mangsa banjir, saya rasa banjir ini merupakan salah satu isu yang hangat, yang akan dan yang telah pun diperdebatkan, dibahaskan dalam Dewan ini, jadi marilah kita Bangsa Johor bersama-sama mengharungi cabaran banjir di Johor. Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan. Dan saya akhirnya mohon menyokong Rundingan Menjunjung Kasih Titah Tuanku. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, Stulang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.09 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung sekarang. Dijemput, Yang Berhormat Bekok untuk mengambil bahagian.
Terima kasih, Datuk Timbalan Speaker, selamat petang dan Salam Maju Johor kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana memberikan kesempatan sekali lagi kepada saya untuk
memberikan ucapan dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada petang yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang mulia, di dalam Titah Kebawah Duli Tuanku, Tuanku menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap rakyat yang berhadapan dengan musibah banjir dan berharap agar rakyat bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Kebawah Duli Tuanku juga berharap agar keadaan politik yang stabil pada masa ini terus dikekalkan dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan negeri Johor.
Sebelum saya meneruskan ucapan mewakili rakyat di kawasan saya, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri Johor, khususnya Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah menggerakkan agensi-agensi kerajaan bagi membantu mangsa banjir di Parlimen Labis, terutamanya di kawasan saya, DUN Bekok, Chaah. Dan menyalurkan bantuan berupa makanan dan tenaga kerja, membersihkan rumah mangsa banjir melalui Southern Volunteers.
Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar juga telah turun ke padang menziarahi dan menyantuni mangsa-mangsa banjir serta menyampaikan sumbangan kepada mereka. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar yang amat prihatin kepada rakyat di Segamat.
Ucapan terima kasih juga saya kalungkan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO Kerajaan Johor yang turut turun padang meninjau dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di dalam Parlimen Labis.
Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan NGOs, dan individu-individu perseorangan yang begitu gigih membantu mangsa-mangsa banjir di Parlimen Labis dengan menyediakan makanan lebih 30,000 bungkus dengan memasak secara gotong-royong dan bekalan barang-barang keperluan seperti tilam, selimut dan sebagainya untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di Parlimen Labis.
Pada 28 Februari 2023, hujan mulai turun dengan lebat tanpa henti sekitar lebih 24 jam dan air mulai naik pada 1 Mac 2023, jam 1.00 pagi sedalam satu kaki hingga tiga kaki dan pada jam 4.00 pagi air meningkat sehingga empat kaki ke enam kaki dalam khususnya di Pekan Chaah. Secara peribadi, saya selaku ADUN Bekok merasa kagum atas komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh jabatan kerajaan dari dalam dan luar kawasan bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Saya amat berterima kasih kepada semua yang membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan saya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang mulia. Kesan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di dalam Parlimen Labis amat dahsyat sekali. Semua peralatan rumah dan premis perniagaan rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Oleh yang demikian, saya ingin bertanyakan di dalam Dewan yang mulia ini, adakah kerajaan negeri Johor bercadang untuk memberikan insentif-insentif kepada mangsa-mangsa banjir di dalam Parlimen Labis? Seperti, pengecualian atau mengurangkan bayaran cukai taksiran dan lesen perniagaan kepada rumah atau premis perniagaan yang terjejas banjir atau pengecualian bayaran sewaan premis-premis Pihak Berkuasa Tempatan, seperti gerai, pasar dan sebagainya serta memberikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada peniaga-peniaga yang terjejas dengan bencana banjir.
Rakyat sekarang ini berada di dalam situasi yang tertekan selepas kejadian banjir dan di samping rakyat menghadapi masalah ekonomi yang sangat mencabar. Selain daripada itu
juga, saya ingin membawa beberapa perkara di dalam Dewan yang mulia ini berkaitan masalah yang dialami oleh rakyat yang berada di dalam DUN saya.
Pertama, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang mulia. Berkaitan masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan DUN Bekok. Ianya melibatkan masalah tekanan air yang rendah dan paip pecah.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Air adalah merupakan salah satu keperluan asas yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air diguna untuk banyak perkara dan aktiviti penting seharian dan setiap manusia ber.. seperti untuk memasak, minuman, mandi dan sebagainya. Dengan ketiadaan air boleh menimbulkan rasa kurang selesa dan boleh menimbulkan perbalahan di dalam keluarga, masyarakat dan juga tidak ketinggalan tohmahan kepada Wakil Rakyat.
YB Datuk Timbalan Speaker, di sini saya ingin maklumkan kepada kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa yang menjaga bekalan air, Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan dan Infra Negeri Johor, Yang Berhormat Bukit Pasir.
Untuk makluman Yang Berhormat, bahawa saya telah membangkit perkara ini di dalam Dewan yang mulia ini tetapi sampai sekarang masalah tekanan air yang rendah dan paip yang mudah pecah masih berlaku di sana sini di kawasan saya di DUN Bekok khususnya di Labis dan Chaah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini berlaku gangguan bekalan air terputus terus pada 25 hingga 27.2.2023 dan bekalan air terputus lagi akibat banjir besar bermula 1 hingga 5.3.2023. Total 8 hari tiada bekalan air. Dan bila saya menelefon Ranhill SAJ Segamat berkenaan bekalan air yang terputus sebelum banjir besar, alasan yang diberikan adalah sangat tidak logik. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa di kawasan saya sering berlaku paip pecah terutamanya di Jalan Tan Cheng Lok, Chaah pada 29.07.2022, 25.10.2022, 28.10.2022 dan 05.01.2023, 16.01.2023 baru-baru ini, 13.03.2023 di mana dalam tempoh 8 bulan kerap pecah sebanyak enam kali di lokasi yang sama, jalan yang sama dan setiap kali paip pecah, penduduk akan terputus bekalan air selama dua hingga tiga hari dan yang terkini pada 11 hingga 16.03.2023, ianya selama enam hari terputus bekalan air. Persoalannya, sampai bilakah masyarakat dalam kawasan Labis akan menghadapi situasi ini? Saya sebagai Wakil Rakyat tebal telinga mendengar sindiran mereka. Justeru itu, saya ingin mendapat kepastian daripada Yang Berhormat Bukit Pasir, apakah sebenarnya masalah yang berlaku di dalam Ranhill SAJ? Ini menyebabkan kami masyarakat di kawasan Labis menanggung kesusahan sekian lama dan melebihi 30 tahun tanpa menampakkan jalan penyelesaian. Saya mengharapkan kerajaan negeri Johor ambil maklum permasalahan ini dan membawa permasalahan ini ke peringkat atasan Ranhill SAJ.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, perkara kedua adalah berkaitan operasi menukar meter elektrik dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh Tenaga Nasional Berhad kepada premis-premis di dalam DUN Bekok. Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak kebelakangan ini, di Parlimen Labis, terutamanya di kawasan saya DUN Bekok, pihak Tenaga Nasional Berhad sedang giat menukar meter TNB di premis-premis kediaman dan perniagaan. Ada beberapa kes kontraktor TNB yang diberi tanggungjawab untuk menukar meter tersebut datang semasa pemilik premis ada di rumah, tetapi setelah meter dibuka, kontraktor tersebut tidak menunjukkan meter yang dibuka kepada pemilik premis. Kemudian pemilik premis dapat surat saman dengan alasan mendakwa bahawa pemilik premis tersebut telah membuat pindaan atau ubahan pada meter tersebut, sedangkan pemilik premis tersebut langsung tidak menyentuh pun meter tersebut. Oleh yang demikian, saya meminta pihak kerajaan negeri Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa yang berkenaan supaya mengambil langkah segera dan proaktif bagi
menyelesaikan isu ini kerana sekiranya isu ini dibiarkan dan tidak diambil tindakan, ianya akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada pengurusan kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang saya muliakan, perkara ketiga, berkaitan masalah jambatan putus di dalam kawasan DUN Bekok. Pada masa kini, terdapat sebuah jambatan yang senantiasa digunakan oleh penduduk dan masyarakat setempat iaitu dari Chaah ke Bekok telah rosak dan terputus. Pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Segamat telah memberikan jadual pelaksanaan bagi membina jambatan baru, namun keseluruhan proses untuk membina dan menyiapkan jambatan tersebut makan masa antara dua ke tiga bulan bermula dari Mac hingga Mei tahun 2023. Pada masa kini, pihak pengurusan Ladang Achi Jaya memberikan kebenaran sementara untuk menggunakan jalan Ladang Achi Jaya kepada masyarakat setempat. Namun masa penggunaan jalan yang diberi adalah terhad iaitu bermula jam 6 pagi hingga 7 malam dan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan laluan tersebut selepas jam 7 malam. Bagi kenderaan berat yang membawa hasil ternakan dan pertanian, ianya sangat memerlukan penggunaan jalan tersebut selepas jam 7 malam. Ini adalah kerana bagi kenderaan yang membawa muatan hasil pertanian dan ternakan sememangnya perlu menggunakan laluan tersebut selepas jam 7, jam 7 malam bagi perjalanan semasa terutamanya yang akan menghantar muatan ke Singapura. Saya minta kepada Yang Berhormat Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan dan Infra Negeri Johor, ianya Yang Berhormat Bukit Pasir proses bagi pembinaan jambatan boleh dipercepatkan di dalam keadaan situasi bencana yang melanda, memohon kebenaran dari pihak pengurusan jalan Ladang Achi Jaya untuk membenarkan kenderaan berat melalui jalan Ladang Achi Jaya selepas jam 7 malam sehingga jambatan siap dibina semula.
Perkara keempat, berkaitan masalah banjir di dalam kawasan DUN Bekok, sebenarnya masalah banjir di kawasan saya adalah masalah biasa setiap tahun atau setiap dua tahun sekali, bagi kawasan rendah yang sering dilanda banjir bila musim tengkujuh sampai. Tapi apa yang saya ingin bangkitkan di dalam Dewan yang mulia kali ini adalah banjir yang baru lepas iaitu banjir pada bulan Januari.
Bekok, masa
Minta dua minit, kerana banjir. Pada bulan Januari dan Februari selain yang berlaku awal Mac yang lalu, sebagai contoh di Kampung Sungai Gatom, Labis, Kampung Jawa, Chaah dan Kampung Kangkar, Chaah, kalau nak dikira pada bulan Januari dan Februari yang lalu, kawasan tersebut tidak ditenggelami air, tetapi tiga kawasan yang saya nyatakan tadi telah ditenggelami air separas satu hingga dua kaki dalam, di dalam rumah. Banjir ini adalah disebab sistem perparitan tidak dapat berfungsi dengan baik, malah parit-parit tersebut membawa air sungai untuk masuk ke dalam kampung. Oleh yang demikian, saya memohon kerajaan negeri Johor, melalui Pengerusi Jawatankuasa yang berkenaan, dapat meninjau dan memikirkan cara mana untuk menghalang air sungai berdekatan masuk ke kawasan kampung sehingga menyebabkan banjir yang akhirnya menyusahkan rakyat. Akhir bicara, serangkap pantun dari saya. Johor gemilang naungan Tuanku, pemimpin bijak mentadbir negeri, Johor makmur rakyat bersatu, permata selatan sentiasa di hati. Saya Bekok mohon menyokong. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Bekok. Dijemput seterusnya, Yang Berhormat Layang-Layang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor dan Salam Perpaduan. Bismillahirrahmanirrahim. (Doa.) Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan yang saya muliakan, pertamanya saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi saya dapat bersama-sama berbahas di dalam Dewan yang mulia ini bagi penggal yang
kedua, Persidangan Penggal Kedua Yang Ke-15, Dewan Negeri Johor, terutamanya saya ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sudi hadir dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan pada kali ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan kerabat-kerabat Diraja yang telah berkenan sudi hadir di dalam Majlis Persidangan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh dikatakan rata-rata Wakil Rakyat yang berucap sebelum ini menceritakan tentang banjir. Saya ingin bawakan satu ayat, firman Allah SWT (bacaan firman) yang bermaksud, “bertakwalah kamu kepada Allah SWT bahawa sesungguhnya ujian atau pun fitnah itu tidak akan menimpa kepada orang-orang yang zalim sahaja, dan ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah SWT sangat dasyat pembalasanNya.”
Dengan sebab itu saya ingin jelaskan dalam Dewan yang mulia ini, alim ulama ada menyatakan bahawa tiga golongan manusia yang akan menerima musibah itu. Yang pertamanya, dia akan menganggap bahawa musibah itu adalah hukuman dan juga azab. Sebab itu banyak kita dengar orang mengeluh, Wakil Rakyat pun mengeluh, saya sendiri pun terlibat juga tuan-tuan. Ada lebih kurang 100 orang, 100 keluarga terlibat, tapi tidak lama, empat hari sahaja. Yang pertama menganggap bahawa musibah itu sebagai hukuman dan juga azab, yang kedua menganggap sebagai penghapus dosa, yang ketiga dia meyakini bahawa musibah itu adalah untuk menguatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Kalau kita lihat daripada tiga jenis golongan manusia ini, golongan yang kedua yang menganggap sebagai penghapus dosa, yang ketiga meyakini bahawa musibah itu adalah untuk menguatkan keimanan dan ketakwaan, dua golongan ini sahaja yang dikira sebagai orang yang diredai oleh Allah SWT. Yang pertama jangan termasuk dalam golongan bahawa Allah hukum kita, Allah sedang azab kita, umat Nabi Muhammad SAW di akhir zaman ini tidak ada yang akan dihapuskan dengan musibah sebagaimana kaum Ad, di negeri Sabak begitu juga kaum Nabi Luth AS, begitu juga kaum Nabi Nuh AS.
Jadi, kita berpegang bahawa apa yang berlaku pada hari ini bahawa ini adalah ujian yang bertujuan untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Mungkin senang kita sampaikan kepada masyarakat, tapi bagi mereka-mereka yang mengalami mungkin mereka tidak dapat bersabar, maka dengan sebab itu, saya rasa mereka-mereka yang terlibat dengan musibah ini perlu diberikan kaunseling, takut mereka ini sentiasa menyalahkan Allah SWT di samping mereka kekurangan harta, kita bimbang mereka ini juga kekurangan iman. Jadi itu sebab kita perlu ada kaunseling supaya mereka ini sentiasa bersabar dan teruskan hidup. Di samping itu, yang penting sekali untuk menambahkan kesabaran mereka dan keimanan mereka, kita sebagai kerajaan pada hari ini perlulah berusaha membantu mereka dengan apa jua cara sekalipun sebagaimana yang dipohon sendiri oleh Sri Medan dan yang lain-lain tadi.
Saya pernah menegaskan di dalam Dewan yang mulia ini, di dalam perbahasan Persidangan yang lepas, bahawa apabila sesuatu wabak dah mula berakhir, pasti kita akan bertemu dengan dua keadaan, ini disebutkan oleh alim ulama. Yang pertama, sama ada kita akan mengalami satu banjir besar dan yang kedua kemarau yang panjang. Dan kita akan juga bertemu dengan tiga krisis, yang pertama krisis cuaca, yang kedua krisis kesihatan dan yang ketiga krisis makanan. Dan ini semuanya dah nampak dan saya dah beritahu dah, boleh semak pada verbatim tu, boleh semak apa yang pernah saya sampaikan. Iaitu di dalam hal ini tuan-tuan dan puan-puan sekalian menyentuh tentang banjir, banyak tempat yang saya pergi terutamanya di kawasan saya khususnya di Simpang Renggam, yang saya yang paling bersedih ialah mereka-mereka yang baharu bangkit memulakan semula kawasan pertanian mereka selepas COVID ini beransur pulih. Mereka dah nak menuai,
tinggal dua bulan lagi nak menuai, ada sebulan lagi nak menuai, ada setengahnya sedang menuai, ditimpa banjir dan kata orang tu istilahnya, sudah jatuh, ditimpa? Ditimpa tangga. Tambah lagi, ditimpa raga, raga yang dibawa. Sudah jatuh ditimpa tangga, ditimpa raga, maknanya bertimpa-timpa musibah itu tadi. Jadi itu sebab saya minta pada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian khususnya bagi EXCO kita hari ini melihat balik bantuan-bantuan mungkin kita boleh pohonkan bagi mereka, mereka sendiri cakap dengan saya, sampaikan pada saya, sebab musibah kali ini agak besar, kalau di Simpang Renggam, tu kawasan tanaman kontan ini saya rasa lebih daripada beratus ekar lah, beratus ekar, ada yang terpaksa keluarkan hasil pertanian dalam, belum tempoh masanya lagi tapi mereka dapat jugalah selamatkan sedikit, daripada rugi besar, lebih baik ada sedikit pulangan untuk mereka sekurang-kurangnya mereka boleh jadikan modal untuk memulakan semula pertanian mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila kita menyebut juga tentang banjir, saya ingat pada tahun ini berdasarkan banjir yang sangat besar, menyamai banjir yang berlaku pada tahun 2006. Di mana kadar hujan yang turun dalam tempoh dua hari itu, menyamai hujan yang turun dalam tempoh sebulan. Saya ingat pihak kerajaan pada hari ini walaupun dah disebutkan tadi ada peruntukan-peruntukan daripada pihak kerajaan pusat, ya? Yang akan diturunkan, jadi saya ingat mungkin perlu dilihat lagi perkara-perkara yang lain, ini belum kita cerita lagi tentang penternak-penternak ini tadi ini, yang penternak kambing, penternak lembu. Ya? Yang kerugian-kerugian mereka ini perlu dinilai balik, kalau tak boleh bantu keseluruhannya, kita bantulah mana yang boleh dibantu ‘maqalla wadalla’, apa yang kita boleh bantu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka, kalau tak mampu semua, jangan tinggalkan semua. Ha, ini kaedah yang kita kena gunakan pada hari ini supaya sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dan Ahli Dewan yang saya muliakan. Saya tak ada banyak perkara yang saya nak sebutkan dalam sesi perbahasan pada kali ini, cuma saya ingin mengambil dan melihat sedikit sebanyak perkara yang telah dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentang tauliah, penceramah di negeri Johor. Saya ingat perkara dakwah ini sangat baik. Ya? Tetapi peraturan itu juga penting bukan tujuan untuk menyekat, tetapi untuk kita nak menyelaras. Semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama dahulu, kita telah pun menyekat 16 orang penceramah yang kita kenal pasti kandungan ceramah atau pun doktrin yang dibawa, fahaman yang dibawa di dalam penyampaiannya itu boleh membawa kepada salah faham dan boleh memesongkan akidah umat Islam di negeri Johor. Maka dengan sebab itu juga di dalam Dewan yang terdahulu semasa itu pernah kita buat pindaan bahawa di negeri Johor ini hanyalah fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Assyariah dan al-Maturidiah. Dari segi sudut amalannya merujuk kepada Mazhab as-Syafie, begitu juga dari segi sudut akidahnya tadi kita rujuk kepada, apa Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga dari segi tasawufnya merujuk kepada Imam Al-Ghazali. Sebab itu dipinda, sebab kita nak selaraskan supaya jangan ada, mereka boleh nak buat, mereka nak amalkan boleh tetapi mereka tidak boleh menyebarkan dalam satu kelompok dalam masyarakat kita pada ketika ini.
Cuma yang saya inginkan hari ini maklumkan di dalam Dewan yang mulia ini bahawa hari ini melalui media sosial, terlalu banyak sangat yang kalau kita lihat pada hari ini penceramah-penceramah baik muda, baik pertengahan, baik dah tua dan sebagainya itu menyampaikan fahaman-fahaman ini dan ini sukar disekat, ini terlalu susah untuk disekat kerana dia berada di mana-mana, kadang-kadang kalau kita tengok ada majlis ilmu di depan sana ada penceramah tapi dia boleh dengar ceramah lain dihandphonenya sendiri. Jadi, itu sebabnya tuan-tuan saya mintalah pada kerajaan pada hari ini, kalaulah katakan hari ini penceramah itu mesti ada tauliah.
Ada satu perkara yang ingin nyatakan, dalam Sambutan Maulidur Rasul biasanya penceramah ini tadi ini, penganjur-penganjur nak menjemput penceramah-penceramah
daripada luar, disediakan garis panduan supaya ada kemudahan yang boleh diberi sebab mereka ni public figure, ada peminat-peminat mereka yang nak panggil mereka, nak jemput mereka jadi kita sediakan peraturan, bukan tak boleh, macam dulu-dulu boleh, tapi kita sediakan peraturan yang mana yang kita dah blacklist itu jangan langsung diberikan kebenaran. Kita berikan supaya macam mana cara mereka boleh dapat dakwah itu sekiranya diadakan di masjid boleh meramaikan lagi mereka-mereka yang hadir di masjid. Selain daripada itu juga, yang saya bimbangkan tentang fahaman-fahaman dan doktrin-doktrin yang salah ini ia bermula di sekolah. Sekolah Agama Negeri Johor seiring dengan sekolah pendidikan akademik di sekolah kebangsaan darjah satu sehinggalah ke tingkatan satu mereka akan habis darjah khas Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor tetapi setelah tingkatan dua, sehinggalah ke tingkatan enam. Kalau mereka sampai ke tingkatan enam di sini ada ruang saya rasa pendidikan sekolah agama, pendidikan agama yang formal tidak ada. Maka itu sebab saya juga diberitahu oleh guru-guru bahawa sekarang ini kurang ada program sebaran dakwah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang datang ke sekolah-sekolah mengadakan program-program sebaran dakwah. Ini penting, sebab ini nak mengukuhkan akidah anak-anak kita ini sekarang ini yang mana hambatannya yang cukup banyak bermula daripada tingkatan dua hinggalah mereka ini berumur 17 hingga 18 tahun.
Di sinilah yang paling banyak mereka menerima fahaman-fahaman dan sekiranya pihak yang berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak tampil untuk tampil ataupun menyediakan program keagamaan melalui program dakwah sebaran Islam di sekolah-sekolah menengah, saya bimbang anak-anak kita ini nanti akan terpesong fahaman mereka. Jadi perlu diperkasakan, kita di negeri Johor ada sekolah agama yang dah 100 tahun usianya. Maka dengan sebab itu penting supaya selepas mereka sekolah agama, anak-anak kita ini tidak dibiarkan malah mereka ini dibimbing dengan program-program keagamaan melalui pihak sekolah Kementerian Pendidikan dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT, di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku bertitah di dalam Majlis Persidangan ini dan sendiri memuji wakil-wakil rakyat. Satu pujian yang kita perlu hargai dan kita perlu pertingkatkan dari masa ke semasa dari segi perkhidmatan kita kerana setiap perkhidmatan kita itu akan ditanya oleh Allah SWT sebab kita ni pemimpin (ayat al-Quran) ‘tiap-tiap daripada kamu adalah pemimpin dan pemimpin itu akan ditanya akan kepimpinannya’.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setakat itu yang saya sampaikan dalam perbahasan ini, Layang-Layang mohon menyokong ucapan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. (Dewan bertepuk.) Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Layang-Layang, seterusnya dijemput Yang Berhormat Perling.
Terima kasih Dato’ Speaker, Perling menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas kesudian Baginda mencemar duli untuk bertitah di Dewan yang mulia ini. Saya mengalu-alukan titah Tuanku Sultan bahawa pihak pembangkang boleh digelarkan pengimbang kerajaan. Tuanku bertitah, saya petik, ‘peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan, mereka bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati’.
Pada bulan Jun tahun lepas, saya memaklumkan kepada dewan ini bahawa peranan pihak pembangkang sebagai badan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri demi memastikan setiap dasar dan keputusan dibuat benar-benar memberi kesan positif kepada pembangunan negeri dan bangsa Johor. Malah, blok pembangkang Dewan Negeri Johor kali ini sudah bersedia menjadi pembangkang yang memberi pandangan yang konstruktif.
Sejak bulan Jun lalu, blok pembangkang di sebelah sini atau pengimbang telah memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan dulu dipimpin oleh saya, sampai bulan Disember dan sekarang dipimpin oleh YB Stulang. Sejak awalnya, kami memilih pendekatan konstruktif dan patik menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan atas titah berkenaan peranan pengimbang kami.
Kita dalam suasana politik yang baharu di mana kerajaan perpaduan pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan selepas tiada parti mempunyai majoriti dalam PRU. Selepas 100 hari usaha Perdana Menteri dan ahli-ahli kerajaan yang menekankan semangat perpaduan dan kerjasama di antara semua parti di bawah kerajaan perpaduan dan di kalangan dan perpaduan di kalangan rakyat jelata berbilang kaum dan latar belakang telah menunjuk juga berhasil. Kerjasama yang erat di antara Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor dalam pengurusan musibah banjir baru-baru ini, boleh kita teruskan untuk merangkumi semua bidang urusan kerajaan. Dan ini hasrat dan harapan kami supaya ada perhubungan yang lebih erat dan supaya mewujudkan satu perhubungan yang boleh membantu dan memberikan impak dan kesan positif kepada semua rakyat Johor.
Dan kami harap bahawa kerjasama ini boleh memulakan padanan politik baharu ataupun new political order bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara. Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Stulang telah menyatakan sokongan blok pembangkang terhadap cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar agar sebuah Jawatankuasa Perubahan Iklim Dan Pengurusan Banjir Merentas Parti ditubuhkan untuk meneliti dan mengkaji secara keseluruhan kesan perubahan iklim dan pengurusan banjir. Saya juga harap semua jawatankuasa-jawatankuasa yang telah di tubuh sebelum ini oleh Dewan yang mulia ini untuk penggal ini seperti Jawatankuasa Berkenaan Persempadanan Kawasan-Kawasan ataupun Jawatankuasa Kira-Kira Awam akan bersidang secara kerap dan menghasilkan laporan-laporan dan dibentangkan dan juga dibahaskan oleh Dewan kita.
Jika jawatankuasa-jawatankuasa yang tersebut, yang saya sebut tadi berjaya dan saya harap saya boleh ulangi apa yang saya telah cadang tahun lepas bahawa tiga lagi jawatankuasa berkenaan dasar-dasar ditubuhkan oleh Dewan ini supaya mencari konsensus merentas parti terhadap isu-isu jangka panjang dan isu-isu yang merangkumi semua portfolio.
Jawatankuasa-Jawatankuasa yang saya cadang sebelum ini ialah berikut :-
Pertama, Jawatankuasa Pilihan Kerjasama Johor-Singapura. Memang ekonomi kita bergantung terhadap hubungan ekonomi kita bersama dengan negara Singapura dan memang kita di sini lebih faham apa yang berlaku di Tambak Johor, apa yang berlaku di sini. Adalah penting untuk kita ada konsensus dan kita ada cadangan untuk kerajaan pusat, kerajaan persekutuan dan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan demi kebaikan ekonomi Johor.
Kedua, Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalisme dan Kuasa Negeri. Ini juga telah dititahkan oleh Tuanku, tahun lepas bahawa hubungan di antara persekutuan dan negeri terutama dari segi fiskal, dari segi kewangan adalah lebih baik kita kaji semula supaya memberikan kerajaan negeri lebih banyak sumber dari cukai. Supaya kerajaan negeri juga boleh mengambil alih atau pun memainkan peranan yang lebih penting dalam pelbagai bidang terutamanya saya rasa pengurusan jalan raya dan juga penyelenggaraan jalan raya.
Jawatankuasa ketiga yang saya cadangkan ialah Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kesejahteraan Bangsa Johor. Ini juga satu bidang di mana, boleh kita mewujudkan konsensus boleh kita mewujudkan kerangka atau pun idea-idea yang merentasi parti, supaya kita boleh janakan ekonomi kita dengan idea yang baru.
Jawatankuasa-jawatankuasa Dewan yang merentasi parti, bukan sahaja memberikan peluang kepada ahli-ahli pembangkang atau pengimbang dilibat uruskan dalam proses penggubalan dasar, malahan juga memberikan peluang yang sama kepada ahli-ahli backbenchers. Barangkali ahli-ahli backbenchers tidak ada peluang untuk melibatkan diri dalam proses kerajaan menggubalkan dasar dan saya harap ini cadangan saya bukan sahaja di sini tetapi di pusat saya pun sejak dulu lagi saya rasa peranan Dewan, Dewan Rakyat atau pun Dewan Negeri perlulah diperkasakan melalui proses jawatankuasa.
Proses Jawatankuasa Dewan membantu bukan sahaja di pihak sini tetapi juga membantu ahli-ahli backbenchers supaya mereka ada peluang untuk berunding dengan ahli-ahli EXCO. Dan budaya ini lebih baik daripada sidang Dewan kerana sidang Dewan ini perlu dan kita perlukan sidang Dewan tapi ada banyak isu kita boleh bincang di peringkat jawatankuasa dengan keadaan yang lebih boleh lebih kerap dan juga lebih secara konsensus atau pun syura.
Saya juga harap kerajaan negeri melibatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah supaya Wakil-Wakil Rakyat boleh membantu kerja-kerja persediaan menghadapi bencana. Kali ini memang ada cabaran di mana ahli-ahli yang bukan kerajaan yang tidak termasuk di dalam Jawatankuasa Bencana ada masa, memang ada masalah komunikasi dan saya harap ini boleh dibantu dengan penglibatan ahli-ahli atau Wakil-Wakil Rakyat dari pihak sini supaya kami boleh membantu kerajaan negeri.
Saya ingin sentuh sikit tentang banjir. Saya menzahirkan rasa sedih, simpati dan solidariti terhadap semua mangsa yang terpaksa menghadapi musibah banjir. Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan semua petugas dari pelbagai agensi kerajaan. Usaha saudara saudari memang penting terutamanya, paling penting untuk mangsa-mangsa yang menghadapi musibah banjir.
Dalam musibah banjir, biasanya ada tiga fasa. Fasa pertama, ialah kita menyelamatkan mangsa dan kita menempatkan mangsa di PPS. Fasa itu, nampaknya hampir berakhir selain daripada Sri Medan, tempat lain nampaknya dah hampir berakhir.
Fasa kedua ialah fasa pembersihan dan fasa pembersihan ini sangat penting. Kalau kita tidak membersihkan secara cepat, mungkin denggi akan berlaku, mungkin penyakit-penyakit yang lain akan tersebar. Dan saya harap, kalau boleh kita cuba bersihkan secepat mungkin. Saya turun ke Chaah 4 kali, saya pergi ke Gerisek dan juga di kawasan-kawasan di Pagoh juga. Usaha kerajaan negeri dihargai, tetapi saya harap juga kita boleh berkali ganda dan juga minta SW Corp, SWM dan juga PBT yang lain supaya kita cuba bersihkan secepat mungkin. Saya faham usaha itu bukan mudah dan saya melibatkan diri di Chaah dan saya memang faham, itu bukan mudah dan kalau boleh kita cuba sedaya upaya bawa lebih banyak aset. Memang aset yang saya nampak masih tidak mencukupi. Saya faham mudah tapi kalau boleh bawa lebih banyak aset untuk segerakan pembersihan.
Fasa ketiga ialah pemulihan. Mungkin kita boleh bincang bagaimana melalui jawatankuasa atau pun melalui apa channel, apa ini, cara yang lain, pendekatan lain untuk kita membincang bagaimana kita build back better Apabila kita memulihkan keadaan mangsa-mangsa bukan sahaja kita cuba memulihkan keadaan mereka tetapi kita harap boleh build back better Kita memulih yang lebih baik. Lebih baik daripada sebelum musibah banjir berlaku. Itu pun bukan mudah, saya faham. Tetapi saya rasa mind set kita, mind set kita, pendekatan kita harus berasaskan build back better iaitu kita bukan sahaja nak memulih tapi memulih dengan cara yang lebih baik. Memulih dengan keadaan yang lebih baik.
Untuk Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir, saya cadang pertama kita perlu cari kelemahan yang telah berlaku dan cari sumber kerana apa yang telah berlaku memang bukan sahaja hujan, tetapi dia juga diakibatkan kerana deforestation kerana hutan-hutan kita telah, liputan hutan kita telah kurang. Mungkin ada air dari di kawasan Segamat, daerah Segamat, bukan semestinya asal dari Johor. Mungkin ada asal dari negeri Pahang. Dan kita kena cari di mana air datang dari mana dan kenapa kita menghadapi keadaan yang begitu teruk sebegitu cepat dan ini adalah seperti yang telah disebut ini kali yang boleh kira yang paling teruk dalam sejarah Johor. Saya bukan kata kita tahu sebab dan saya cadang kita gunakan peluang ini dengan jawatankuasa supaya kita cari apa yang telah berlaku dan kita membaiki kan keadaan.
Banjir juga diakibatkan oleh, kalau banjir di kawasan Perling banyak diakibatkan kerana longkang sumbat, sungai ini ada sampah dan ini juga salah satu bidang di mana kita mesti menambahbaik supaya kita kurangkan sampah di sungai, kita bersihkan longkang supaya longkang tidak sumbat. Dan saya mengambil peluang ini juga meminta EXCO, YB EXCO dari Bukit Permai supaya Taman Tampoi Indah ini boleh bantu sikit. Ini dah keadaan banjir di sana dah begitu lama dan saya ucapkan terima kasih atas usaha tetapi kalau boleh segerakan. Terima kasih.
Banjir juga melibatkan isu yang lebih holistik dan lebih keseluruhan termasuk adakah kita bersedia untuk menanam lebih banyak pokok atau pun reforestration? Adakah kita bersedia untuk solusi-solusi yang bukan sahaja kejuruteraan? Biasanya saya nampak lazimnya pendekatan kita ialah pendekatan kejuruteraan. We can’t find any engineering solution. Dan pendekatan kejuruteraan kita tertumpu terhadap satu daerah. Tapi isu ini tidak semestinya satu daerah, mungkin air datang dari negeri lain. Kita perlukan idea baru, reforestation mungkin wet land yang kita perlu wujudkan yang mungkin kita boleh fikir bagaimana kita usahakan supaya kawasan-kawasan industri dan juga perumahan ada rain forest harvesting. Kalau kita dia boleh kutip air kita boleh kurangkan penggunaan air yang treated water tetapi boleh juga jadi satu cara untuk kurangkan air hujan memasuki ke air sungai dan sistem pengairan. Dan juga perancangan bandar..
Masa, Yang Berhormat..
Perancangan bandar juga salah satu apa ini, bidang di mana kita perlu ada idea baru supaya kita boleh mengatasi keadaan atau pun cabaran perubahan iklim dan pengurusan banjir. Dengan kata-kata itu, saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Timbalan Speaker dan juga semua.
Terima kasih Yang Berhormat Perling. Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Terlebih dahulu Parit Raja merakamkan setinggi-tinggi penghargaan diberi peluang untuk berbahas dalam sidang Dewan ini. Parit Raja Merafak Sembah Menjunjung Setinggi-tinggi Kasih Di Atas Titah DiRaja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan bertitah dan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 ini.
Patik serta seluruh warga Parit Raja juga menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah mencemar duli menyantuni keluarga yang telah terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara Kolej Perwira UTHM, Parit Raja, Pusat Pemindahan Sementara Pura Kenchana. Dan juga keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah, Permaisuri Johor ke Pusat Pemindahan Sementara Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Sri Gading.
Patik serta seluruh warga Parit Raja mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dalam keafiatan, dilanjutkan usia, bertambah daulat kebesaran dan kemuliaan. Payung dan puncak keadilan negeri bagi menaungi patik sekalian.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor berkenaan situasi banjir yang sedang melanda negara ini. Sesungguhnya titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengingatkan patik serta seluruh Ahli Dewan bahawa tugas kerajaan negeri merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang berat ketika berhadapan dengan situasi banjir ini. Apatah lagi berhadapan dengan perubahan iklim yang tidak menentu dengan pelbagai situasi baru yang juga memerlukan kaedah penyelesaian yang baru.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan dalam suasana yang gembira tentunya selepas melalui pandemik COVID. Sebagai salah satu kawasan yang terkesan dengan situasi banjir ini, apa yang berlaku di Parit Raja merupakan antara yang terburuk selepas situasi besar sekitar tahun 2006 yang lalu. Rakyat terpaksa berhadapan dengan kemusnahan, kerugian harta benda dalam skala yang besar malahan mengganggu aktiviti rutin dan sosio ekonomi pelbagai lapisan umur keluarga yang terlibat.
Sejak 3 Mac lalu, sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka di kawasan DUN Parit Raja menunjukkan trend peningkatan hingga melibatkan lebih 8,000 jumlah mangsa terjejas akibat banjir. Syukur alhamdulillah, Parit Raja merakamkan ucapan terima kasih atas usaha dan komitmen dari kerajaan negeri melalui JPS, 11 dari 73 pam air bergerak telah ditempatkan di kawasan Parit Raja dan Sri Gading. Kini, 8 PPS sudah pun ditutup dan masih ada sekitar 2,000 lagi yang berada di pusat pemindahan.
Menginsafi ayat Quran yang telah dibaca oleh Yang Berhormat Layang-Layang tadi dan juga surah Al-Baqarah ayat 105 hingga 156 yang bermaksud, “Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, dengan kelaparan dan berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu kesusahan, maka mereka berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Saya melihat raut wajah Yang Berhormat Datuk Speaker, yang turut sama menggembleng tenaga, sama juga Yang Berhormat Sri Medan dan Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya daripada daerah Batu Pahat sebenarnya kami kagum di daerah Batu Pahat dengan angka 38,000 mangsa banjir yang terlibat dengan musibah, mereka dilanda kesusahan dan kepayahan, tetapi di antara mereka membantu menguruskan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara. Mereka juga bergotong royong untuk memasak, untuk lebih 700 hingga 800 setiap hari untuk mangsa-mangsa yang terlibat dan hari ini ke arah pasca banjir, sebelum keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara tersebut, mereka juga mesti bertanggungjawab untuk memastikan Pusat-pusat Pemindahan yang ditinggalkan dalam keadaan bersih dan baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan Parit Raja menjadi tumpuan laluan semula jadi air dari Empangan Bekok dan Empangan Sembrong dan situasi banjir termenung sebelum bertembung dengan fenomena air pasang. Syukur cuaca panas terik di daerah Batu Pahat, tapi yang pelik, makin banyak rumah digenangi air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan Parit Raja merupakan antara penyumbang utama sektor sosio ekonomi di daerah Batu Pahat. Melihat dan berdepan dengan kesengsaraan rakyat, ketika berdepan situasi banjir, Parit Raja ingin tegaskan bahawa apa sahaja pembangunan Rancangan Tempatan Daerah, RTD mestilah melibatkan sekali Jabatan Pengairan Dan Saliran dan jabatan lain yang berkaitan agar pembangunan lebih bersepadu
sekali gus sebagai persediaan berdepan dengan pelbagai kemungkinan dan dapat membantu meminimumkan risiko. Ketika merancang atau pun ketika keghairahan merancang kawasan yang berpotensi, merangsang ekonomi yang maju dan berdaya tahan, kerajaan negeri terutama agensi berkaitan, amat wajar mengambil kira laluan-laluan pengairan dan saliran, apatah lagi berlawan dengan sifat semula jadi laluan air. Apabila terlibat secara langsung berdepan dengan situasi banjir di daerah Batu Pahat, Parit Raja melihat beberapa perkara yang perlu diberikan keutamaan.
Yang pertama, keutamaan memperuntukkan kos untuk menaik taraf sistem saliran, khasnya daerah Batu Pahat yang mempunyai saliran terpanjang di negeri Johor, dengan pembangunan yang begitu pesat, Parit Raja menggesa JPS, juga mengkaji keperluan untuk kerja-kerja menyedut lumpur di sungai-sungai yang sudah tohor. Bila, berapa kali sudah dilakukan, berapa banyak pembangunan yang sudah dilaksanakan, tetapi kerja-kerja ini sudah lama tidak dilaksanakan.
Yang kedua, mengkaji dan menyusun semula projek mengatasi fenomena air pasang besar khasnya kawasan tumpuan di daerah Batu Pahat seperti pembaikan dan pembinaan ban kajian kewajaran tambahan untuk membina pintu air.
Ketiga, memperkasa aset-aset pam bergerak, khasnya di daerah tumpuan. Parit Raja juga mohon pihak JPS untuk mengkaji semula kawasan tumpuan, penempatan pam bergerak ini untuk dipasang rumah pam kekal bagi persediaan menghadapi pelbagai risiko. Di kesempatan ini, Parit Raya mengucapkan terima kasih kepada negeri Perlis dan Pulau Pinang yang menempatkan pam-pam air. Saya dapat melihat sendiri sekitar jam tiga, empat pagi, mereka masih bertungkus lumus, petugas-petugas JPS masih bekerja keras untuk mengendalikan pam-pam air. Terima kasih JPS.
Keempat, kajian pembinaan flat gate dibenteng-benteng sempadan kampung-kampung untuk mencegah aliran air masuk dari hilir ke hulu kampung. Kaedah ini mungkin dilihat wajar bagi membendung aliran air pada masa-masa tertentu ketika air pasang dan dengan fenomena iklim semasa.
Kelima, oleh kerana pembangunan sama ada taman perumahan dan kawasan perindustrian yang begitu pesat, kerajaan negeri diminta mengkaji keperluan kawasan takungan banjir atau yang sama sepertinya.
Keenam, memperkasa kesiapsiagaan menghadapi banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja secara tegas menekankan perkara ini adalah sangat-sangat penting. Parit Raja amat menghargai seluruh anggota dan pasukan keselamatan yang terlibat secara langsung membantu menyelamatkan nyawa rakyat di negeri kita. Malah keseluruhan kakitangan awam sangat membantu dalam menyusun atur pembukaan Pusat Pemindahan Sementara dengan keadaan yang begitu sibuk pada saat kami berdepan dengan keadaan air yang mendadak naik begitu cepat. Antara yang Parit Raja ingin tekankan di sini ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Antara agensi yang bertanggungjawab dan peranan besar ketika negara berdepan dengan situasi banjir atau pun bencana lain, tapi sayangnya sehingga kini kebajikan anggota masih belum diperkasakan. Kalau ada kerja, adalah gaji. Itu pun waktu bertugas hanya 40 jam sahaja. Ketika negara berdepan dengan fenomena yang tidak menentu, tugas dan tanggungjawab serta peranan APM amat penting. Parit Raja menyeru agar kerajaan negeri dapat membawa suara ini ke peringkat persekutuan agar dapat dipertimbangkan, lantikan kontrak dan lantikan tetap dalam agensi ini agar dapat menarik minat orang muda untuk berbakti kepada negara. Betapa ruginya negara ketika mereka mahu berkhidmat, namun bukan sahaja imbuhan elaun, apatah lagi tiada jaminan Perlindungan Keselamatan Sosial, PERKESO. Dalam usaha memperkasa kesiapsiagaan banjir ini, Parit Raja berharap
kerajaan negeri melihat dan menilai semula aset-aset seperti truk-truk yang digunakan oleh agensi yang sudah tiba masanya untuk ditambah bilangannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ketujuh, meningkatkan fasiliti di sekolah, dewan-dewan ataupun mana-mana bangunan yang boleh dijadikan pusat pemindahan sementara bagi keluarga terjejas bencana. Ini berlaku di daerah Batu Pahat, ketika kita sibuk memindahkan mangsa terkesan di satu-satu PPS, PPS tersebut dinaiki air dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain. Ada yang tiga kali pindah. Dan di Parit Raja, dewan-dewan besar, dewan-dewan terbuka, dewan sekolah dijadikan penempatan dan amat-amat membantu untuk keselesaan. Namun masih ada lagi sekolah-sekolah yang tidak ada dewan terbuka berkapasiti besar, bagi keperluan mendesak ketika kita berhadapan dengan situasi banjir. Parit Raja juga menyeru pihak kerajaan sama ada negeri atau pun pusat dapat meneliti untuk permohonan baik pulih sekolah yang terlibat banjir atau pun selepas dijadikan Pusat Pemindahan Sementara mesti dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kelapan, memperkasa fasiliti kesihatan. Situasi kami di daerah Batu Pahat ini memang amat mencabar, rumah banjir, sekolah yang dijadikan pusat pemindahan pun banjir, terpaksa berpindah dengan bantuan truk-truk agensi dan akhirnya klinik kesihatan pun banjir. Klinik Kesihatan Sri Gading juga turut dilanda banjir. Kedudukannya berhadapan taman perumahan yang begitu indah dan gah, Taman Pura Kencana. Apa yang Parit Raja nak tekankan di sini, fasiliti kesihatan juga mesti dinaik taraf dan betapa pentingnya, insya-Allah mudah-mudahan Klinik Kesihatan Parit Raja yang baru dapat disegerakan kerja-kerja pembinaannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menghadapi pasca banjir, bantuan dan sokongan amat penting dalam membendung emosi dan kesengsaraan rakyat. Parit Raja mohon agar Jabatan Pendaftaran Negara di peringkat daerah, turunlah ke akar umbi, bantulah rakyat untuk permudahkan urusan rakyat dan bantuan-bantuan lain, Parit Raja mohon untuk semua agensi-agensi yang ada saluran bantuan, berilah, bantulah rakyat. Soalannya, bilakah bantuan-bantuan berbentuk kewangan yang telah diumumkan juga menimbulkan keresahan selagi tidak disampaikan kepada rakyat. Dan bantuan-bantuan dari seluruh agensi kepada mangsa yang terlibat, sama ada bantuan memulakan semula perniagaan, kepada pekebun, petani, bidang pertanian, bidang penternakan dan lain-lain. Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat, masa.
Baik, baik. Tinggal setengah helai. Penyertaan pihak swasta khasnya dalam tempoh berdepan situasi ini adalah amat diperlukan dan kerjasama yang erat amat diucapkan terima kasih. Parit Raja berterima kasih kepada Genting Properties yang memberikan kerjasama tidak berbelah bagi untuk membantu. Begitu juga UTHM dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sri Gading serta seluruh staf dan pelajar yang turut menjadi sukarelawan. Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Dewan yang mulia ini, Parit Raja ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang benar-benar menggembleng tenaga, berdepan dengan situasi sukar di Batu Pahat. Pegawai Daerah, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yong Peng, Pejabat Tanah, PDRM, Bomba Dan Penyelamat, APM, JKM, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Islam Daerah, KKM, terima kasih banyak, kerjasama TNB dan SAJ sentiasa mendengar keluhan, SWCorp, Indah Water, JPS dan JKP, Jabatan Penerangan, MAIJ, serta Pejabat Kadi, masjid-masjid, surau-surau dan yang terpenting Southern Volunteers, terima kasih di atas peluang untuk perbahasan, sekian Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Parit Raja, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga pukul 3.50.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.35 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 3.50 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, diteruskan perbahasan, dijemput Yang Berhormat Bukit Kepong.
Bismillahirrahmanirrahim. (Doa.) Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita sama-sama merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah perkenan dan kekuasaannya dapatlah kita berkumpul dalam Dewan yang mulia ini, yang mencerminkan betapa demokrasinya negara, negeri yang bertuah ini.
Bukit Kepong ingin memulakan ucapan perbahasan dengan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor atas keberangkatan untuk bertitah dan menyempurnakan Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Syukur Alhamdulillah Bukit Kepong pada hari ini berulang menyertai perbahasan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Untuk itu, Bukit Kepong dengan penuh insaf memegang kukuh segala titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang menjadi pandu arah kepada Bukit Kepong dan sekalian Ahli Dewan yang berada di dalam Dewan yang mulia ini untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memacu pembangunan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan kepada rakyat. Keprihatinan baginda Tuanku Sultan amatlah Bukit Kepong sanjung tinggi.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, izinkan Bukit Kepong untuk mengambil sedikit masa menyentuh perihal titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang telah berpendapat gelaran pembangkang kepada Ahli Dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai. Titah ini jelas menunjukkan tilik pandang dan kebijaksanaan Baginda Tuanku Sultan dalam memastikan negeri terus stabil dengan kesemua 56 Ahli Dewan dapat berfungsi dengan selayaknya.
Benarlah apa yang dititahkan oleh Baginda Tuanku Sultan bahawa Ahli Dewan ini di pihak bukan kerajaan bukan hanya untuk membangkang semata-mata segala cadangan kerajaan sebaliknya punya peranan dan tanggungjawab sebagai pihak yang menyemak, mengimbang dan memeriksa segala kelakuan mahupun keputusan yang dibuat oleh kerajaan agar tidak tersasar daripada hala tuju pentadbiran. Maka Bukit Kepong yang berada di pihak pegawai kerajaan menuntut perhatian kerajaan agar sentiasa membuka pintu seterusnya menerima teguran, pandangan bahkan berkongsi idea dalam perencanaan dasar atau polisi untuk kebaikan negeri dan rakyat. Rakyat di kawasan yang tidak diwakili oleh Ahli Dewan di pihak kerajaan juga adalah Bangsa Johor sekali gus wajar diberikan perhatian tanpa adanya dwi-standard. Sekiranya mahu impian melihat Johor menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, tumpuan kerajaan perlulah menyeluruh tanpa memisahkan berdasarkan siapa Wakil Rakyat di kawasan tersebut. Berpolitik biarlah secara berpada-pada tetapi berkhidmat biarlah bersungguh-sungguh jangan dibezakan awak dan saya, kami dan kamu, santuni dan dengarilah suara di segenap kawasan dengan menampilkan kematangan dalam pentadbiran.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, banjir tahun 2023 ini harus menjadi peringatan kepada kita semua. Bukit Kepong ingin merujuk kepada surah al-Zuhraf, ayat ke-11 yang bermaksud “dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit menurut ukuran, sukatan tertentu yang diperlukan, lalu dengan air hujan ini kami hidupkan negeri yang mati iaitu kering tandus
tanahnya, seperti itulah kamu akan dikeluarkan hidup dari alam kubur”. Merujuk kepada ayat ini, Allah SWT telah menurunkan hujan sebagai rahmat kepada kita, dan Allah jua yang menentukan jumlah air hujan yang turun, ada yang turun sedikit, ada juga yang turun banyak, semuanya dalam perintah Allah SWT. Allah SWT menurunkan hujan mengikut keperluan tempat itu.
Berdasarkan kefahaman tersebut, Bukti Kepong merasakan kerajaan seharusnya telah bersedia dan bersiap siaga untuk memastikan risiko banjir di negeri Johor adalah di peringkat yang minima. Kerana kerajaan telah pun melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRMB), Program Pembangunan Water Balance Bagi Pengurusan Sumber Air Negara serta Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara. Bagaimanapun, negeri Johor telah dilanda musibah banjir yang sangat luar biasa, kesemua daerah termasuklah Muar, khususnya kawasan Pagoh dan DUN Bukit Kepong tidak terkecuali dilanda bencana ini. Kami di Bukit Kepong sendiri telah membuka 36 PPS iaitu seramai 6,000 mangsa banjir. Walaupun tidak sedahsyat dan seramai Sri Medan, namun Bukit Kepong kerap dilanda banjir. Seperti tadi YB-YB di kawasan lain menyebut banjir tahun 2006. Namun di Bukit Kepong, 2006 banjir di Bukit Kepong, 2011 banjir di Bukit Kepong, tahun lepas juga banjir di Bukit Kepong dan pada tahun ini Bukit Kepong juga banjir. Jika Segamat banjir, maka banjirlah Bukit Kepong, jika Segamat dan Labis banjir, maka lebih hebatlah banjir di Bukit Kepong. Namun, Bukit Kepong mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang banyak membantu Bukit Kepong dari Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan, APM, KKM dan Jabatan Agama Islam sendiri.
Melihat sendiri semua kerosakan dan kemusnahan ini, Bukit Kepong berasa sangat sayu apabila melihat kediaman mangsa-mangsa yang terjejas dengan bencana banjir ini. Dengan keadaan banjir di negeri Johor yang semakin pulih, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara menunjukkan penurunan dan Bukit Kepong telah menggerakkan usaha pasca banjir. Namun memandangkan banjir pada kali ini adalah sangat hebat dan sangat dahsyat, sehingga banyak kawasan-kawasan kampung juga telah putus hubungan. Menyebabkan kita perlu menempuh jarak yang terlalu lama ke sesuatu tempat, contohnya jika Bandar Muar ke Bukit Kepong hanya memerlukan waktu satu jam, namun pada keadaan banjir terpaksalah Bukit Kepong bergerak keluar tol Pagoh masuk tol Gambir lalu Jementah, Segamat dan Labis untuk sampai ke Bukit Kepong.
Alhamdulillah di atas keprihatinan semua jabatan dan semua agensi, kali ini banyak mangsa yang telah dapat dibantu oleh semua agensi kerajaan. Selain menghulurkan sumbangan bakul makanan serta kelengkapan rumah, pasukan misi pasca banjir di kawasan DUN Bukit kepong telah menyantuni mangsa-mangsa bencana yang ditemui seterusnya memberikan semangat dalam menghadapi ujian ini. Bagaimanapun, dalam keadaan mangsa banjir yang serba kekurangan, Bukit Kepong melihat keperluan bantuan untuk mereka yang terjejas disegerakan. Baik sama ada mereka yang berpindah ke PPS ataupun tidak berpindah ke PPS. Maka Bukit Kepong berharap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat mempercepatkan pemberian bantuan antaranya wang ihsan kepada setiap ketua isi rumah, memudahcarakan proses yang perlu dijalani oleh mangsa dan janganlah sesekali ada kerenah birokrasi sehingga menambahkan beban serta kesedihan mangsa banjir. Mereka sudah cukup terbeban dengan kesulitan yang dialami usahlah ditambah lagi dengan birokrasi.
Ucapan terima kasih Bukit Kepong kepada kerajaan negeri, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pegawai-Pegawai Daerah, Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor, jabatan dan agensi kerajaan negeri mahupun persekutuan atas komitmen yang diberikan dalam menguruskan bencana banjir kali ini. Ucapan terima kasih Bukit Kepong juga kepada semua NGO, baik daripada negeri Johor dan luar negeri Johor yang memberi bantuan selama bencana banjir di Bukit Kepong. Bukit Kepong juga
mengharapkan pemberian moratorium daripada pihak institusi perbankan dan sumbangan tunai daripada kerajaan persekutuan. Bukit Kepong akan ada pengumuman daripada Menteri Besar Johor mengenai insentif atau bantuan khas daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban, kesulitan mangsa banjir. Secara jelas mereka memerlukan modal untuk memulakan kembali kehidupan selepas bencana.
Mengenai mangsa banjir ini, Bukit Kepong ingin penjelasan daripada pihak kerajaan berkenaan keberkesanan projek Rancangan Tebatan Banjir atau RTB yang telah dilaksanakan sebelum ini serta keberkesanan pelaksanaan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRMB) Program Pembangunan Water Balance Bagi Pengurusan Sumber Air Negara dan Program Ramalan Alaman Banjir Negara bagi lembangan Sungai Muar. Ingin Bukit Kepong mencadangkan agar kerajaan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir atau aktiviti tambahan iaitu selain daripada melencongkan atau membesarkan Sungai Muar atau Sungai Segamat, pembinaan takungan air di antaranya seperti Kolam Takungan Sungai Meda, Daerah Muar, Kolam Takungan Sungai Segamat, Kolam Takungan Sungai Kepah, Daerah Segamat dan lain-lain takungan air dalam lembangan Sungai Muar hendaklah dilaksanakan. Ini kerana Bukit Kepong berpandangan pembinaan kolam takungan tersebut bukan sahaja berfungsi untuk menyimpan air bagi mengurangkan risiko banjir semasa musim hujan tetapi boleh dijadikan sebagai sumber air tambahan khususnya bagi menampung keperluan pembangunan di persisiran Pantai Muar seperti cadangan Pembangunan Maharani Energy Gateway Muar iaitu pembangunan Hab Tenaga Lestari Serantau dan pelabuhan laut dalam yang boleh dibekalkan kepada negeri Melaka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya Bukit Kepong ingin memanjangkan suara rakyat mengenai Projek Perumahan Rakyat yang terhenti dan pembinaannya terbengkalai antaranya Program Rumah Transit Mampu Milik dan Rumah Generasi Kedua. Isu ini bukan baharu bagi Bukit Kepong panjangkan kepada kerajaan untuk dijadikan perhatian sehingga kini, masih lambat proses untuk disiapkan rumah generasi kedua terutama FELDA Moakil. Bukti Kepong melihat jika sesuatu kawasan itu berada di pihak kerajaan, maka projek itu akan berjalan laju dan pantas. Namun, apabila berada di pihak pembangkang projeknya perlahan dan malah boleh jadi tergendala. Contohnya seperti Projek Perumahan Generasi FELDA Moakil. Bila Yang Berhormat Pagoh berada di pihak kerajaan projek itu dapat berjalan dengan lancar, kemudian 2016 bila Pagoh berada di blok pembangkang, projek itu menjadi tergendala kemudian 2018 projek itu berjalan semula namun sekarang kelihatannya projek itu menjadi perlahan semula. Jadi, diharapkan pihak kerajaan negeri dapat memantau projek-projek yang sedemikian.
Kemudian juga Bukit Kepong mengharapkan isu yang sentiasa berbangkit iaitu ketiadaan lampu di sepanjang jalan ke Hab Pendidikan Pagoh, tiangnya dah ada, lampunya dah ada namun tidak menyala. Jadi, diharapkan dapat diselesaikan dengan kadar segara.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum mengakhiri ucapan ini, Bukit Kepong sekali lagi merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Johor dan Jajahan Johor Darul Ta’zim kerana berkenan untuk berangkat ke Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang Ke-15 pada 16 Mac yang lalu. Bukit kepong turut ingin merafak sembah dengan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda Tuanku Sultan pada 23 Mac 2023 ini, semoga Allah SWT melanjutkan usia, mengurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus merahmati pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan bersama seisi keluarga Diraja Johor.
Akhir kata, Bukit Kepong mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua Ahli Dewan yang beragama Islam, semoga kehadiran bulan Ramadan pada tahun ini membawa 1001 keberkatan dan rahmat
kepada kita semua. Marilah kita semua menginsafi seterusnya menjadi yang terbaik dalam menyambut Ramadan al-Mubarak (Doa). Kepada Allah Berserah, Muafakat Itu Berkat. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, Bukit Kepong. Dijemput Yang Berhormat Jementah.
Terima kasih. Salam sejahtera dan selamat petang Yang Berhormat Datuk Speaker dan sekalian. Menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena pembukaan Persidangan Pertama Bagi Penggal Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15. Jementah menyambut baik titah Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya Jementah ucapkan terima kasih dan berasa amat bangga atas penghargaan yang tinggi daripada Duli Yang Maha Mulia kepada semua Ahli Dewan Negeri dalam sepanjang masa berkhidmat sejak Mac 2022.
Kami berasa amat bangga dan bersyukur atas pengiktirafan Tuanku kepada barisan bukan kerajaan bahawa kami bukan barisan pembangkang tetapi barisan yang sentiasa menyokong dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri supaya stabil dan seimbang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkataan banjir di bangkitkan sekurang-kurangnya 30 kali dalam persidangan ini walaupun hari ini hanya hari ke 2 persidangan ini dijalankan. Untuk maklumat Yang Berhormat sekalian, antara bulan Disember 2022 hingga Januari 2023 sebanyak 3 kali banjir berlaku di Segamat. Apatah lagi kes banjir yang berlaku 2 minggu lepas melibatkan melebihi 70,000 mangsa di seluruh Johor. Ini membawa impak negatif kepada kawasan dan individu yang terlibat. Izinkan Jementah mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada para anggota dan sukarelawan yang terlibat dalam kejadian banjir ini. Mereka memberikan bantuan dan sokongan sepenuhnya sepanjang bencana ini berlaku. Kebanyakan anggota yang terlibat bertugas tanpa mengira masa dan sanggup mengambil risiko yang tinggi. Terima kasih atas kerjasama anda semua kerana sanggup mengorbankan masa demi masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita memahami banjir bukan sahaja membawa kerugian dari segi kewangan kepada mangsa tetapi juga kepada kerajaan. Dalam tempoh yang begitu singkat, begitu tinggi kosnya yang ditanggung oleh semua jabatan kerajaan tempatan yang terlibat kejadian banjir. Semasa kejadian banjir berlaku Jabatan Kebajikan tungkus lumus menyediakan pusat pemindahan sementara dan makanan kepada mangsa. Pasukan penyelamat dikerah membantu memindahkan mangsa banjir. Setakat hari ini, pejabat Jementah telah menerima sebanyak 1,200 borang permohonan pampasan banjir. Disebabkan banjir, kerajaan perlu membiayai kos yang amat membebankan bagi menyediakan pampasan kepada mangsa-mangsa banjir selepas kejadian. Tidak dilupai juga kos pembersihan sampah dan pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir. Selain itu, lokasi yang terkena banjir juga perlu menjalankan operasi semburan racun bagi mencegah penyebaran jangkitan Denggi di kalangan penduduk. Kerja-kerja ini melibatkan perbelanjaan yang amat tinggi dan membebankan kerajaan kita. Seperti anggaran Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri pada minggu lepas, kerugian banjir ini mencecah sebanyak RM168 juta dan ini hanya untuk kerja-kerja membaik pulihkan beberapa jalan dan infrastruktur yang rosak sahaja. Kesemua kos kerugian ini hanya untuk kes kejadian banjir pertama di tahun ini.
Selain kos yang tinggi, kejadian banjir juga membawa beban kerja kepada anggota-anggota yang terlibat seperti pegawai JKM, NADMA dan lain-lain, sedangkan kita menemui masalah kekurangan sumber manusia dalam balai-balai di negeri kita. Berapakah kes kejadian banjir dijangka akan berlaku di masa depan?. Dan berapakah kos kerugian dijangka untuk kerja-kerja penyelamatan dan membaik pulih. Dalam Bajet 2023, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengumumkan bahawa RM113.7 juta diperuntukkan dalam tahun ini untuk kerja-
kerja penyelenggaraan sungai dan saliran. Soalan Jementah ialah, adakah ini cukup untuk menyelesaikan masalah banjir secara kekal? Adakah peruntukan ini cukup untuk menyelesaikan kes banjir di seluruh Johor?. Jementah menyeru supaya semua pihak yang terlibat mewujudkan satu resolusi yang dapat mengatasi masalah yang sering berlaku secara kekal secepat mungkin.
Yang Berhormat sekalian, selain daripada kerja-kerja penyelenggaraan sistem pengaliran, pemuliharaan alam sekitar juga amat penting bagi mencegah kebanjiran. Kebanyakan pihak hanya mementingkan kerja-kerja menaiktarafkan sistem pengaliran sahaja tetapi terabai punca induk kelakuan banjir. Pencemaran sampah di sungai-sungai yang seolah-olah tiada penghujungnya dan penebangan hutan secara tidak terkawal terutama di kawasan tadahan air secara tidak terkawal merupakan salah satu punca kebanjiran berlaku. Pembuangan sampah merata-rata dan sikap kurang prihatin terhadap kesan yang mungkin tertimbul juga merupakan salah satu faktor kebanjiran.
Kesedaran alam sekitar rakyat kita, sorry, kesedaran alam sekitar rakyat di negara kita masih amat rendah. Kebanyakan orang umum tidak menyedari bahawa banjir besar, hujan lebat luar biasa atau siri ribut taufan yang berlaku disebabkan pencemaran. Walaupun banyak kempen Pendidikan dan kesedaran alam sekitar dalam pelbagai bentuk penerangan, bahan bacaan, media cetak dan sosial diusahakan oleh pelbagai pihak yang bertanggungjawab. Namun usaha murni dijalankan itu seolah-olah mencurahkan air di daun keladi. Jutaan ringgit dilaburkan untuk kempen berkenaan, tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar masih dalam tahap yang begitu rendah dan hampir mengecewakan. Justeru apakah pendekatan yang boleh digunakan atau dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar di peringkat negeri dan persekutuan untuk meningkatkan kesedaran yang membawa kepada tindakan untuk memulihara alam sekitar kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak perniagaan yang terpaksa tutup dan menyebabkan banyak orang kehilangan kerja disebabkan Pandemik COVID-19 melanda negara kita. Ini mendorong kebanyakan orang terutamanya remaja memilih untuk kerja sebagai penghantar makanan. Walaupun sekarang kita berada dalam situasi post pandemik, keadaan ekonomi kita masih belum pulih dengan sepenuhnya dan masih banyak remaja tidak dapat mencari kerja yang sesuai. Bebanan rumah memaksa mereka bekerja rutin meredah hujan lebat dan cuaca panas terik. Ada penghantar makanan pernah mengadu dikejar dan digigit anjing, mengalami kemalangan semasa menghantar makanan atau duduk sepanjang masa sebab tidak dapat sebarangan tempahan dan terpaksa ikat perut sepanjang hari. Pelbagai dugaan dan cabaran memaksa mereka menguatkan semangat dan terus berusaha dengan gigih demi rezeki diri dan keluarga. Pelbagai insentif memang telah dijalankan untuk disalurkan kepada golongan remaja seperti program myfuture jobs, penggajian di bawah PERKESO, peruntukan bantuan kewangan kepada pengusaha muda atau food truck dan lain-lain. Walaupun pelbagai insentif ini telah dijalankan sejak tahun lepas tetapi masalah kesuntukan kewangan ataupun masalah pengangguran dalam kalangan remaja ini masih tidak dapat diatasi sepenuhnya. Terutama di kawasan pinggir bandar dan kampung. Perkembangan ekonomi yang tidak seimbang merupakan faktor utama dan menyebabkan golongan remaja ini terasa mereka telah diabaikan.
Golongan remaja yang berniat bermula berniaga mengadu bahawa permohonan bantuan modal berniaga ditolak atau pun pasaran yang terhad dan menyebabkan persaingan yang ketat. Golongan yang berniat bermula perusahaan pertanian mengeluh bahawa tiada modal untuk membeli atau menyewa tapak manakala graduan baru dari institusi merungut tiada peluang pekerjaan yang sesuai di pinggir bandar. Kalangan ini tidak berniat untuk bergantung kepada bantuan sumbangan tunai sahaja. Mereka merupakan tiang negara yang berwawasan dan berhasrat menjana kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Mereka mempersoalkan bagaimanakah kerajaan boleh membantu mereka untuk mencapai
impian atau kejayaan sedangkan pembangunan infrastruktur tidak mampu menyokong perkembangan ekonomi di kawasan kampung atau pinggir bandar.
Peluang bekerja atau pilihan kerja di bandar-bandar pendalaman seperti Segamat adalah amat terhad. Mereka terpaksa bekerja sebagai pekerja am sedangkan kebanyakan daripada mereka memegang sijil profesional atau kemahiran yang tinggi. Seruan golongan ini supaya mengukuhkan perkembangan ekonomi yang seimbang di kawasan pendalaman demi meningkatkan peluang bekerja untuk mereka. Seperti di rakam dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Johor 2030, visi Johor 2045 adalah Johor Kuasa Ekonomi Negara dan Serantau. Dengan objektif pertumbuhan ekonomi yang stabil dan seiring antara daerah-daerah kolaborasi selatan dan luar selatan. Punca induk ketidakseimbangan perkembangan ekonomi tempatan adalah perhubungan dan penyambungan infrastruktur yang kurang sempurna. Pengangkutan darat memainkan peranan penting bagi merancakkan perkembangan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk termasuk peningkatan tahap pendapatan, peningkatan taraf pekerjaan dan pendidikan. Pembangunan kemudahan infrastruktur juga memberangsangkan pembangunan ekonomi yang menarik pelaburan sempadan dan antara rantau. Aktiviti pelaburan yang semakin merancak akan meningkatkan ekonomi tempatan. Sehubungan ini, ekonomi tempatan yang lebih pro aktif bukan sahaja meningkatkan taraf ekonomi tempatan tetapi juga meningkatkan pendapatan penduduk tempatan dan merangsang lebih banyak peluang bekerja.
Mengikuti berita Utusan Malaysia yang bertarikh 25 Februari 2023, melaporkan berita mengenai perancangan inisiatif pendapatan rakyat. Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Rafizi Ramli menyatakan bahawa penjanaan pendapatan rakyat lebih mustahak bagi membantu membasmikan miskin tegar dibandingkan dengan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat. Justeru, Jementah menyeru supaya golongan jawatankuasa memandang berat, berat atas ketidak seimbangan pertumbuhan atau pembangunan infrastruktur di kawasan selatan Johor. Jementah juga menyeru supaya pendekatan diberi kepada peningkatan keupayaan accessibility dan sistem infrastruktur di Jementah dan Segamat bagi memacu ke arah objektif negeri kita iaitu pertumbuhan dinamik dan seimbang.
Perkembangan infrastruktur seperti telekomunikasi amat diperlukan untuk menyelaraskan kecekapan penggunaan pelaburan keseluruhan dalam ekonomi terutamanya di kawasan desa. Akan tetapi keadaan rangkaian infrastruktur telekomunikasi yang ketinggalan zaman di sekitar Segamat amat mendukacitakan. Ini merupakan salah satu punca kemunduran pertumbuhan ekonomi di kawasan ini. Setakat bulan lepas walaupun kerja-kerja pemasangan fibre optic telah lengkap liputan internet 5G di Segamat hanya naik daripada 21% ke 30% sejak awal tahun 2023. Jementah menyeru supaya masalah diambil berat bagi memperluaskan rangkaian telekomunikasi sebagai usaha merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan. Sekian perbahasan Jementah. Terima kasih.
Terima kasih Jementah. Dijemput seterusnya Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah perasmian Baginda Sultan untuk Sidang Dewan Johor Penggal Kedua Kali Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan saya pada hari ini saya mempunyai beberapa visi yang ingin saya kongsikan kepada Dewan Negeri Johor. Ini merupakan sesi yang ketiga yang saya hadir setelah diangkat menjadi ADUN Puteri Wangsa dan sepanjang sesi yang lepas banyak yang telah saya belajar dan banyak juga dasar-dasar yang telah semua ADUN-ADUN Negeri Johor angkat di dalam Dewan Negeri Johor. Saya percaya
bahawa Dewan Negeri Johor ini bukan sahaja satu tempat yang mulia tetapi ia juga merupakan satu tempat yang mempunyai potensi yang besar untuk membawa negeri Johor menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan sebuah negeri yang maju. Maka untuk itu Yang Berhormat Datuk Speaker, suka untuk saya angkat visi pertama saya dalam ucapan ini iaitu Reformasi Dewan Negeri Johor.
Saya percaya bahawa banyak perkara yang boleh kita lakukan di dalam Dewan Negeri ini untuk memperkukuhkan lagi institusi demokrasi di dalam negeri Johor. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga telah bertitah untuk kita mengubah cara fikir kita apabila Baginda Sultan mengubah gelaran pembangkang kepada pengimbang kerajaan. Dengan itu kita mengubah cara berfikir tentang fungsi pembangkang ataupun fungsi pengimbang kerajaan di dalam negeri Johor. Gelaran ini adalah satu hal yang sangat baru dan sangat segar. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Krisis Iklim Dan Banjir yang akan melibat samakan ADUN-ADUN Pengimbang Kerajaan bersama dengan ADUN-ADUN Kerajaan. Kerana saya percaya bahawa krisis banjir ini merupakan krisis yang kita perlu selesaikan dengan segera dan perlu kerjasama dua hala antara kedua-dua belah pihak. Saya juga nak ambil ruang ini untuk tambah lagi beberapa hal yang boleh kita reformasikan dalam Dewan Negeri Johor.
Yang pertama Yang Berhormat Datuk Speaker, Enakmen Peruntukan Saksama untuk semua 56 ADUN Johor. Perkara ini adalah polemik yang sedang dan sentiasa berlaku di peringkat pusat. Apabila peruntukan yang sama rata atau peruntukan yang saksama tidak diberikan kepada semua Ahli Parlimen, Ahli Parlimen Kerajaan dan juga Ahli Parlimen Pembangkang, saya sangat bersyukur kerana di Dewan Johor ini kita antara negeri yang mengambil langkah pertama untuk memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua ADUN. Saya puji di bawah pentadbiran Yang Berhormat Benut sewaktu beliau merupakan Menteri Besar Johor dengan memperkenalkan peruntukan sama rata. Saya juga puji kerajaan hari ini kerana menyambung baik usaha ini. Tapi saya percaya dalam isu ini tak perlu saya tekankan betapa pentingnya peruntukan ini kepada semua ADUN daripada pengurusan pejabat ke projek-projek kecil sehinggalah pergerakan kita di peringkat komuniti kawasan setempat serta baru-baru ini apabila melandanya banjir di negeri Johor ini, segalanya memerlukan peruntukan daripada ADUN. Saya ingin mencadangkan agar Johor sekali lagi menjadi negeri contoh dengan menjadikan peruntukan saksama kepada semua ADUN sebagai satu Enakmen yang akan diikuti oleh kerajaan Johor pada tahun-tahun yang akan datang dan bukan sahaja pada kali ini.
Sebagai Wakil Rakyat, kita tak perlu menunggu lagi setiap penggal untuk menentukan sekiranya ada peruntukan yang akan diberikan kepada ADUN-ADUN pengimbang kerajaan. Dan saya juga percaya bahawa kita tidak perlu tunggu akta ini untuk lulus dan digazetkan di peringkat persekutuan. Johor sekali lagi boleh tunjukkan kepada semua bangsanya bahawa semua Wakil Rakyat di dalam Dewan ini meletakkan kebajikan bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik. Hak rakyat di setiap DUN harus dijaga dengan sempurna tidak kira parti politik mana yang memegang kuasa. Jadi saya fikir peruntukan DUN ini tidak harus diguna pakai sebagai alat politik sekiranya kita luluskan enakmen di negeri Johor, perkara ini secara tidak langsung juga dapat menjamin kestabilan sesebuah kerajaan di Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua untuk kita dekatkan hubungan Dewan Negeri Johor bersama bangsa Johor. Dengan mencadangkan siaran langsung perbahasan. Ini hal yang mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya memberi makna yang besar kepada usaha reformasi Dewan Johor. Sejak Parlimen adakan siaran langsung perbahasan, rakyat lebih cakna dengan apa yang berlaku kepada pentadbiran negara. Saya percaya siaran langsung ini bukan sahaja penting, ia juga memberi ruang kepada negeri Johor untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa kita memang benar-benar serius berbahas tentang dasar dan isu rakyat. Sekiranya ada ADUN-ADUN yang berperangai tidak senonoh, biar rakyat yang
menentukan. Pun begitu saya percaya bahawa semua ADUN dalam negeri Johor ini semuanya ada sikap dan adab yang baik. Jadi elok kita tunjukkan kepada negeri dan negara seterusnya bahawa Dewan Negeri Johor ini terbaik dari sudut dasar dan juga budaya kerja. Maka saya mohon Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk diberi perhatian kepada agenda Reformasi Dewan Negeri Johor.
Visi kedua yang ingin saya bawa ke dalam Dewan pada hari ini adalah satu perkara yang telah banyak kali dibicarakan pada hari ini tapi saya kira masih penting untuk dibawa oleh Puteri Wangsa. Iaitu Perubahan Iklim Sebagai Agenda Utama Negeri Johor. Isu banjir dan bencana alam yang terkini ini telah memberikan impak yang sangat besar kepada negeri Johor. Di mana lebih 74,000 rakyat Johor terkesan dan lebih teruk lagi apabila ada juga meragut nyawa beberapa orang bangsa Johor. Walau pun sudah ada usaha untuk menangani isu ini, saya percaya perlu juga ada usaha yang lebih banyak untuk menjamin keselamatan bangsa Johor secara menyeluruh. Walau pun di Puteri Wangsa mungkin tidak begitu teruk terkesan jika nak dibandingkan dengan Parit Raja ataupun Sri Medan. Tetapi masih ada lagi beberapa kawasan di dalam Puteri Wangsa yang banjirnya turut teruk. Kalau baru-baru ini masih ada kawasan-kawasan sebagai contohnya di Kampung Tengah yang banjir naik sehingga bumbung, Kampung Kangkar Tebrau yang sentiasa banjir apabila hujan lebat. Di Puteri Wangsa walau pun merupakan satu kawasan bandar, terdapat juga 7 Pusat Pemindahan Sementara sewaktu banjir yang baru-baru ini berlaku. Jadi saya puji bahawa memang ada misi-misi pasca banjir yang dilakukan oleh semua pihak tidak kira sama ada ADUN-ADUN, sama ada ketua-ketua masyarakat, badan-badan bukan kerajaan dan ramai lagi yang sama-sama membantu dalam misi banjir. Tetapi apa yang ingin saya tekankan pada hari ini adalah kita kena komited untuk juga memberi usaha bukan sahaja pasca banjir tetapi usaha sebelum berlakunya banjir itu. Kehilangan harta benda memang satu perkara yang sangat menyedihkan. Tetapi apa yang lebih menyayat hati apabila ada kehilangan nyawa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita lihat di Jakarta, Indonesia sebagai contohnya mereka ada sistem kawalan banjir yang digunakan yang bersifat memberi amaran awal kepada penduduk dan pihak berkuasa sebelum berlakunya bencana banjir. Sistem ini berbentuk sensor fasiliti amaran awal seperti siren. Dan kemudahan lain terutama di kawasan hot spot yang mampu meramalkan kemungkinan banjir seterusnya memberikan amaran awal kepada penduduk-penduduk dan pihak-pihak yang berwajib untuk memindahkan penduduk dengan segera. Di Malaysia kita memang ada update dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan ramalan hujan dan ramalan banjir di website Info Banjir. Tetapi website Info Banjir ini tidaklah disebarkan kepada orang ramai terutamanya penduduk di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses Internet yang stabil apatah lagi warga emas yang kemungkinannya tidak lihat pun website Info Banjir ini. Jadi saya ingin ambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar kita wujudkan sensor amaran awal seperti siren yang boleh diguna pakai di hot spot-hot spot banjir supaya sebelum berlakunya banjir itu dengan melibatkan kerosakan begitu banyak harta benda dan melibatkan kehilangan nyawa penduduk-penduduk di kawasan yang akan terkesan boleh pindah terlebih dahulu.
Kemudian kedua untuk isu banjir ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin bawa tentang Skim Insurans Bagi Golongan B40. Sebagai ADUN Johor, kita telah mengangkat sumpah untuk menjaga kebajikan semua warga Johor. Tidak kira siapa sahaja jadi wajarlah bantuan diberikan kepada mereka yang lebih cenderung terdedah kepada bencana banjir. Salah satu cara untuk menangani hal ini, adalah dengan menyediakan skim insurans kepada mereka yang terdedah dengan bencana banjir. Contoh nyata di kawasan saya sebagai contohnya Kampung Paya Kenangan, Kampung Kangkar Tebrau tahun lepas sahaja 3, 4 kali banjir dan tahun ini apabila berlakunya banjir baru-baru ini memang teruk terkesan mereka dengan harta bendanya banyak yang musnah. Kita tidak buat skim insurans dalam negara ini atau pun dalam negeri Johor tetapi hanya bantuan khas secara berkala ataupun secara bermusim sahaja. Walau pun bantuan itu sangat bagus dan saya
puji komitmen daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan tapi harus juga dimasukkan dalam dasar kerajaan negeri Johor skim insurans untuk memastikan semua rakyat Johor merasa selamat dengan sebarang bencana yang kita tidak pasti bila akan terjadi.
Kita lihat beberapa contoh skim insurans di negara-negara luar sebagai contohnya di United Kingdom mereka memiliki skim semula banjir di mana insurans ini dibuat dengan kerjasama kerajaan bersama dengan industri-industri insurans swasta. Ataupun di Korea Selatan, di mana skim insuransnya adalah 100% untuk skim insurans awam. Saya harap kita semua dapat bekerjasama untuk bersetuju dalam menyediakan skim insurans yang merupakan langkah proaktif untuk meringankan beban rakyat terutama mereka yang terkesan dengan banjir setiap tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, visi saya yang ketiga adalah untuk membuka ruang autonomi kepada institusi TVET yang bertapak di Johor berbanding di negeri-negeri lain. Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Johor bahawa Johor telah mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing tertinggi dalam negara bagi tahun lalu iaitu sebanyak RM70.6 bilion. Pelaburan besar ini telah membuka lebih 12,000 pekerjaan berimpak tinggi di Johor. Cabaran kita hari ini adalah untuk menguruskan potensi Johor yang besar dan kaya ini. Peluang kerja yang kita ada ini harus diisi. Pekerja-pekerja harus menjadi enjin yang menggerakkan ekonomi negeri Johor. Maka saya cadangkan untuk menguruskan cabaran ini, kita perlu sedaya upaya memberikan ruang autonomi kepada semua institusi TVET dalam negeri ini yang bertapak di negeri Johor. Apa autonomi yang saya maksudkan? Autonomi yang kita perlu berikan kepada institusi TVET adalah untuk mereka bekerjasama secara langsung dengan semua industri-industri yang melabur di Johor supaya pembelajaran murid tertumpu kepada bidang berkaitan di dalam industri negeri ini. Kerana kita tahu setiap negeri mungkin memerlukan kepakaran yang berbeza-beza kerana setiap negeri mempunyai industri-industri yang berbeza.
Misalnya, pelaburan hab pusat data Johor iaitu Taman Pusat Data Hijau YTL, Taman Teknologi Nusajaya dan Lembah Teknologi Sedenak. Ini semua memerlukan pekerja yang dilatih dengan lebih rinci oleh industri pusat data. Permintaan untuk pusat data dijangka akan berkembang pada tahap 12.9% setiap tahun. Dengan nilai pusat data dunia bakal mencecah USD517.17 menjelang 2030. Ini kita kena cari tenaga kerja, kita tidak boleh biarkan peluang pekerjaan yang banyak ini diisi oleh pekerja-pekerja luar. TVET adalah potensi besar untuk membekalkan tenaga kerja dan pemberian autonomi dapat membantu kita untuk latih dan hasilkan pekerja yang berkualiti untuk ekonomi negeri Johor. Pada masa yang sama juga Yang Berhormat Datuk Speaker, kita dapat pastikan agar orang-orang muda dalam negeri kita memiliki pekerjaan yang separa mahir ataupun pekerjaan mahir. Dengan secara tidak langsung meningkatkan juga jumlah gaji orang-orang muda dalam negeri Johor. Saya juga ingin tekankan apabila kita bercerita tentang memberikan autonomi kepada industri-industri, kepada sektor-sektor pendidikan bekerjasama dengan industri TVET, kita kena tekankan bahawa lebih penting untuk mereka menjalankan dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker place and train berbanding train and place. Kerana lebih mudah untuk mereka berlatih di industri-industri tersebut daripada di dalam ruang kelas sahaja. Saya memang memandang tinggi dengan usaha kita untuk mewujudkan silicone valley kita sendiri di Johor. Maka kita harus berusaha untuk ke arah itu dengan kita memulakan langkah mengautonomikan TVET dalam negara kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dengan itu dengan penuh rendah diri ingin mengucapkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berucap dalam Dewan yang mulia ini. Setiap kali saya hadir ke sini insya-Allah saya akan sentiasa ingatkan diri saya bahawa setiap masa dan ketika yang saya luangkan dalam Dewan Negeri Johor ini adalah amanah dan pinjaman daripada rakyat. Masih ramai lagi rakyat Johor yang memerlukan bantuan yang masih susah yang masih melarat. Maka saya juga ingin seru semua ADUN-
ADUN, rakan-rakan ADUN-ADUN untuk kita bekerja keras bersungguh-sungguh untuk Johor dan isinya. Saya akan jalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin untuk berkhidmat sebagai ADUN pengimbang kerajaan terutama sekali untuk penduduk di DUN Puteri Wangsa. Sama-sama kita buang yang keruh kita ambil yang jernih dan sekali lagi Puteri Wangsa menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, semoga kita semua diberi kesihatan dan rezeki yang baik untuk terus berkhidmat pada negeri Johor Darul Ta’zim. Amin Ya Rabbal Alamin. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Puteri Wangsa, dijemput Yang Berhormat Permas.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam maju Johor. Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua jabatan dan Sidang Dewan yang saya muliakan. Terlebih dahulu marilah kita ucapkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana limpah dan kurniaNya kita semua diberi kesihatan yang baik dan kekuatan bagi menghadiri mesyuarat kali pertama Dalam Persidangan Penggal Yang Kedua pada tahun 2023. Semoga Persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terlebih dahulu Permas merafak sembah Menjunjung Kasih Di Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dalam Sidang Dewan Yang Ke-15 pada kali ini. Permas juga merasa gembira bila Baginda Sultan dengan nada ceria menyatakan kepuasan hati dalam pentadbiran di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor dan juga barisan EXCO kerajaan negeri. Tahniah saya ucapkan. Permas juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang mentadbir Dewan yang mulia ini. Dari pihak PKN, Pejabat Jurutulis hingga kepada penyediaan makanan telah memberi perkhidmatan yang baik-baik, tahniah, saya ucapkan. Dalam Persidangan ini Permas juga ingin menyampaikan rasa dukacita di atas kepayahan kawasan-kawasan yang telah dilanda banjir. Saya juga pernah mengalami musibah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga bersetuju dengan beberapa Wakil Rakyat supaya kita bergerak secara jawatankuasa, supaya Wakil-Wakil Rakyat dapat sama-sama membantu, merancang, memajukan kerajaan negeri Johor. Sebagai contoh, di setiap PBT di Johor mempunyai jawatankuasa yang merancang di kalangan ketua-ketua jabatan dan juga Ahli-Ahli Majlis di setiap portfolio dan ia memberi impak yang baik kepada pihak PBT di mana setiap keputusan akan mengambil kira soal-soal rakyat dan juga polisi kerajaan yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan perpaduan dilihat sedang berusaha mentadbir negara dengan baik sebaik mungkin. Dalam pengalaman Pakatan Harapan selama 22 bulan, bermula pada tahun 2018 membuatkan mereka lebih teliti dalam segala tindakan yang dilakukan. Ditambah dengan pengalaman yang baik oleh tokoh-tokoh dari Barisan Nasional dilantik sebagai barisan Kabinet, Menteri, banyak membantu kerajaan perpaduan mencapai matlamat membangunkan negara dan rakyat. Pemimpin-pemimpin parti dan gabungan kerajaan perpaduan banyak bertolak ansur menjadikan kerajaan ini bergerak dengan keadaan yang dilihat agak stabil. Tiada prasangka tak baik antara pemimpin dapat mewujudkan keharmonian dalam mentadbir negara. Rakyat perlu menjaga keharmonian dan kestabilan politik yang wujud bagi memberi ruang yang luas kepada kerajaan memikirkan soal keselesaan rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik. Jika keadaan ini terus wujud, sudah pasti kehidupan rakyat akan wujud kembali seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional yang gilang gemilang suatu ketika dahulu. Tanggungjawab menjaga kestabilan ini adalah tanggungjawab bersama. Sama ada di pihak kakitangan kerajaan,
parti pembangkang mahu pun rakyat. Jangan lagi menabur fitnah, jangan lagi mencipta naratif berniat jahat hingga menyebabkan rakyat rasa tidak tenteram.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Mulia Sultan dalam penyampaian titahnya ada menyebut bahawa keadaan ekonomi sedang berjalan dengan rancak dalam sektor pembangunan hartanah dan juga industri. Sejumlah RM7.6 bilion sedang dilabur di negeri Johor oleh pelabur-pelabur dari luar negara dan juga dalam negeri. Manakala, Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi yang baik walaupun dunia mengalami ekonomi yang masih lagi tidak menentu. Pada tahun 2022, nilai dagangan melebihi pada RM2.0 trilion mencatatkan antara pertumbuhan terpantas berbanding tahun-tahun lepas. Pada tahun 2023, nilai dagangan terus meningkat. Ia menunjukkan petanda yang amat baik untuk Malaysia keluar daripada masalah ekonomi selepas pandemik COVID-19.
Oleh yang demikian, Johor perlu mengurus peluang ini dengan baik. Jadikan pelabur sebagai rakan dagangan yang menguntungkan, sediakan infrastruktur dan kemudahan yang menarik bagi keselesaan para pelabur. Perlu dibantu segala urusan mereka dengan jabatan kerajaan yang kebiasaannya beberapa proses kelulusan akan mengambil masa bertahun-tahun. Kelewatan masa memulakan sesuatu perniagaan akan mengakibatkan pertambahan kos. Ia akan menimbulkan keresahan kepada pelabur, kelewatan juga akan menyebabkan kerajaan tidak dapat menambah hasil sedangkan jika kelulusan dapat dipercepatkan, bermakna hasil kerajaan dapat ditambah dengan cepat. Elakkan karenah birokrasi yang tidak munasabah hingga menyebabkan kepayahan para pelabur mendapat satu kelulusan. Saya suka mengambil contoh Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang menjadikan pelabur sebagai rakan kongsi, menjadikan Pasir Gudang tempat yang menarik kepada para pelabur. Di mana kalau kita lihat di Majlis Bandaraya Pasir Gudang sentiasa menjaga jalan-jalan rayanya, menjaga tempat kawasan supaya lebih cantik dan memberi tempat-tempat yang selesa kepada pengunjung-pengunjung ke Pasir Gudang. Ini kalau dilihat di Pasir Gudang, pelabur-pelaburnya atau kilang-kilangnya tak pernah tutup, malah kilang-kilang pelabur-pelabur akan terus bertambah di Pasir Gudang. Jadi saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Aman Shah kerana telah berusaha ke arah sini supaya Pasir Gudang lebih baik dan sebagainya. Jika hasil kerajaan bertambah dengan baik, ia akan memudahkan kerajaan untuk mentadbir urus.
Belanjawan negara, belanjawan kerajaan negeri yang lepas walaupun ia lebihan belanjawan, tetapi ia terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam beberapa sektor. Beberapa perkara tidak dapat diselesaikan dengan baik seperti soal banjir, yang dialami oleh kawasan-kawasan tertentu. Jalan raya yang semakin teruk keadaannya kalau kita lihat, bukan hanya di Pasir Gudang malah, Yang Amat Mulia Sultan mengatakan bahawa jalan di Mersing juga menjadi jalan yang tidak berapa baik. Dan kalau kita lihat di kawasan-kawasan yang lain-lain, di kawasan-kawasan kampung juga, jalan-jalannya turut berlubang. Jadi kerajaan negeri terpaksa banyak bergantung kepada kerajaan pusat. Jika pendapatan kerajaan dapat ditingkatkan kepada RM2.5 bilion pada masa akan datang sudah pasti kerajaan mampu menangani masalah yang menghantui rakyat setiap tahun. Poket rakyat juga antaranya bergantung kepada pelabur-pelabur, setiap pergerakan aktiviti pelaburan akan menggerakkan ekonomi. Jika tiada pergerakan maka tiadalah pergerakan ekonomi yang berlaku maka tiadalah duit yang masuk ke dalam poket rakyat. Oleh yang demikian, Permas berharap kerajaan memberi fokus yang serius terhadap perjalanan ekonomi negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, politik negara dan negeri dianggap stabil, semua pihak perlu bekerja dalam satu pasukan. Orang politik tak kira kerajaan mahupun pembangkang, kakitangan kerajaan dan juga rakyat perlu berganding bahu membangunkan negara dan juga negeri. Permas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan kerajaan yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada Wakil-Wakil Rakyat khususnya di DUN Permas. Ketika Johor dilanda banjir yang buruk, kawasan DUN Permas
dan juga Johor Jaya hanya sedikit sahaja yang terkesan berbanding dengan musim banjir yang lepas. Terima kasih kepada Jabatan Parit dan juga Saliran yang telah menyelenggara sebahagian daripada sungai-sungai di kawasan DUN Permas dan Johor Jaya. Permas berharap kerajaan dapat terus menjaga sungai-sungai ini secara berkala. Dan kalau kita lihat di Permas, kawasan Permas dan Johor Jaya di tahun-tahun yang lepas, oleh kerana sungai-sungai tidak diselenggara dengan baik, sungai-sungainya tidak dibesarkan dan sungai-sungainya tidak di dalamkan, maka banjir yang buruk akan berlaku. Dan sepertimana yang kita lihat di highway Pasir Gudang, highway yang baik pun boleh tenggelam akibat oleh sungai-sungai yang tidak ditadbir urus dengan baik.
Oleh yang demikian saya berharap agar perkara-perkara tersebut tidak akan berulang dan yang paling saya berharap sekali adalah sungai-sungai ini dapat ditadbir atau diuruskan dengan baik supaya banjir-banjir ini tidak akan berlaku pada masa akan datang. Begitu juga pihak Jabatan Kerja Raya yang telah bertungkus lumus menampal jalan-jalan berlubang yang banyak di Lebuh raya Pasir Gudang, hingga sekarang jalan-jalan tersebut pun masih lagi berlubang-lubang. Kita hanya mampu untuk menampal tapi kita tidak memulihkan jalan tersebut supaya menjadi satu lebuh raya yang selamat untuk digunakan kepada rakyat di kawasan Pasir Gudang. Permas berharap agar pihak kerajaan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah Lebuh raya Pasir Gudang dan juga mendapatkan peruntukan dari kerajaan pusat bagi membaik pulih semula Lebuh raya Pasir Gudang agar ia kembali selamat kepada pengguna Lebuh raya Pasir Gudang. Kalau kita lihat kita pun mempunyai beberapa pakar-pakar yang baik, pakar ekonomi, pakar teknologi, semua kita ada, tetapi masalah yang tersebut kita masih lagi tidak dapat selesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi pentadbiran kerajaan hanya satu perkara sahaja iaitu Penghulu di kawasan saya, dilihat tidak memberi kerjasama yang baik kepada Wakil Rakyat dan juga ketua-ketua masyarakat termasuk ketua-ketua kampung. Lantikan-lantikan yang dibuat seperti jawatankuasa masjid dan surau tidak memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin masyarakat untuk berbincang dan memberi pandangan, ia menyebabkan ada beberapa jawatankuasa masjid yang lantik di kalangan individu yang bermasalah dan rakyat setempat ramai yang tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut. Hingga juga timbul persepsi yang menggambarkan bahawa pihak Penghulu berpihak kepada parti pembangkang. Diharap Pejabat Daerah dan juga Pejabat Menteri Besar dapat memberikan perhatian supaya isu seperti ini tidak timbul lagi.
Permas berharap agar jangan pisahkan kerajaan dengan orang politik, ia sangat berkait rapat, ia bagaikan air dengan tebing. Jika tebingnya runtuh, maka banjirlah Parit Sulong itulah ibaratnya. Jadi kita bersama-sama untuk bekerjasama memastikan bahawa kerajaan kita dan tempat-tempat kita juga akan mendapat perkara-perkara yang baik, dapat menyelesaikan masalah-masalah yang ada. Permas juga berharap agar kerajaan negeri dapat membanyakkan rumah-rumah murah dan mempercepatkan pembangunannya. Kekurangan rumah-rumah murah menyebabkan harga-harga rumah murah terpakai telah meningkat harganya akibatnya sewa rumah semakin meningkat dan kekurangan tawaran untuk rumah-rumah sewa dan kalau kita lihat di Pasir Gudang bagi saya mentadbir di Pasir Gudang, semakin ramai rakan-rakan kita atau orang yang tidak bernasib baik telah dihalau daripada rumah masing-masing kerana telah dapat membayar sewa-sewa yang meningkat. Jadi itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker, Permas menyokong Rundingan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Permas mengucapkan selamat berpuasa dan selamat hari raya sebab kita mungkin tak akan jumpa di masa kita hampir di hari raya dan mudah-mudahan kita semua dapat beraya termasuklah Pasir Sulong, harap-harap dapatlah juga beraya. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh (Dewan bertepuk).
Waalaikumussalam. Terima kasih Yang Berhormat Permas. Ahli-Ahli Yang Berhormat, di sini ada satu pemakluman awal untuk makluman semua, kerajaan
negeri Johor telah menetapkan hari Ahad 26 Mac 2023, sebagai gantian cuti bagi Hari Kelepasan Am Negeri Johor selaras dengan Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369). Maka saya ingin memaklumkan bahawa Dewan akan dilanjutkan sehingga hari Isnin 27 Mac 2023. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok, Isnin 20 Mac 2023 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.