Johor · 20 March 2023
2nd session, 1st meeting · 138 turns · 34,449 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Negeri Johor telah mencipta sejarahnya yang tersendiri. Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah bertitah, istilah pembangkang tidak lagi sesuai digunakan di Dewan yang mulia ini. Justeru, sebagaimana yang telah dimulakan oleh Yang Amat Berhormat Machap semalam, kita akan menggunakan istilah Pengimbang, istilah pengimbang lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristic untuk mewujudkan peranan Dewan Negeri yang lebih berwibawa. Menjunjung Kasih Tuanku. Terima kasih.
Soalan Lisan.Questions
Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.
Pasca Pandemik memberi impak yang sangat b esar kepada rakyat Johor khususnya aspek emosi individu yang menghadapi tekanan hidup lantas menjejaskan kewarasan fikiran. Justeru, apakah usaha Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam menangani masalah jiwa kalangan rakyat Johor yang terjejas?
Salam Maju Johor, salam perpaduan, salam Bangsa Johor. Bangun pagi cari sarapan, lepas sarapan pergi Dewan, bersidang demi masa depan, selamat pagi seisi Dewan.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang atas soalan dan sidang Dewan sekalian. Isu masalah kesihatan mental ataupun gangguan emosi semasa pasca pandemik COVID-19 adalah masalah global. Antara strategi yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi menangani masalah kesihatan mental di kalangan penduduk Johor adalah beberapa strategi :
1. Strategi promosi dan pendidikan kesihatan mental melalui ceramah kesihatan secara atas talian. 2. Ceramah kesihatan secara bersemuka. 3. Promosi bahan pendidikan kesihatan mental melalui Telegram Minda Sihat Johor. 4. Memperkasa agen kesihatan di komuniti yang bernaung di bawah Program MyChampion untuk mempunyai asas pengetahuan berkenaan masalah kesihatan mental agar mereka boleh membantu masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan mental di fasiliti JKNJ.
Strategi kedua, pengesanan awal masalah kesihatan mental. JKNJ telah menyediakan sistem Saringan Minda Sihat atas talian iaitu e-DASS untuk penduduk Johor melaksanakan
saringan kesihatan mental kendiri melalui Sistem Saringan Minda Sihat atau QRDass. Orang awam boleh menjawab saringan akan mendapat jawapan serta-merta dan saranan intervensi seterusnya.
Kedua, saringan minda sihat di klinik kesihatan juga dilaksanakan dengan sasaran tertentu mengikut jenis klien yang hadir.
Yang ketiga, saringan minda sihat juga dilaksanakan dalam aktiviti National Health Screening Initiative yang dilaksanakan di seluruh negara.
Bagi strategi ketiga ialah, intervensi atau rawatan. Semua kes yang disyaki mempunyai masalah kesihatan mental akan dinilai oleh Pegawai Perubatan dan seterusnya klien akan diberi intervensi sewajarnya. Bagi kes-kes memerlukan penilaian lanjut oleh Pakar Psikiatri, mereka akan dirujuk ke hospital kerajaan yang berdekatan.
Strategi keempat, kesiapsiagaan bencana. JKNJ mempunyai pasukan Mental Health Psychosocial Support ataupun MHPSS. MHPSS merujuk kepada apa saja sokongan dalaman atau luaran bertujuan untuk melindungi atau mempromosi kesihatan psikososial, mencegah, merawat penyakit mental. Sokongan ini termasuk intervensi Psychological First Aid ataupun PFA. PFA adalah satu intervensi sokongan kepada mangsa bencana untuk digunakan sejurus selepas sesuatu bencana, krisis yang ditunjukkan untuk mencegah masalah kesihatan mental yang terjadi akibat bencana lanjutan dan memberi kesan buruk kepada mangsa. Saya ambil contoh pada banjir yang baru-baru sahaja berlaku, pasukan JKNJ juga telah masuk ke setiap PPS bukan sahaja untuk membuat saringan kesihatan, dan juga melakukan program untuk membantu mangsa-mangsa banjir daripada segi mengawal emosi mereka.
Isu masalah kesihatan mental ini atau pun gangguan emosi perlu ditangani secara holistik, punca kepada perubatan, perubahan emosi yang ini perlu dikenal pasti dan ditangani agar gangguan emosi ini tidak berpanjangan dan berakhir dengan penyakit mental. Antara puncanya adalah kehilangan pekerja dan isu kewangan. JKNJ menyediakan perkhidmatan untuk membantu klien beradaptasi dengan situasi baru dan bagaimana untuk menghadapi kecelaruan emosi. Akan tetapi punca kepada gangguan emosi ini memerlukan penglibatan pelbagai agensi yang berkepentingan. Komponen pemerkasaan masyarakat terhadap penjagaan dan pemeriksaan kesihatan kendiri, meliputi kesihatan fizikal dan mental. Ia terkandung dalam Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). Dengan itu, semua ketua masyarakat atau agensi serta setiap individu perlu cakna tentang status kesihatan serta melaksanakan pemeriksaan kesihatan kendiri bukan sahaja dalam kesihatan fizikal malah kesihatan mental juga. Sekian, jawapan saya. Terima kasih.
Sila...
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya. Terima kasih kepada YB EXCO Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan. Cuma, saya nak tahu berapakah jumlah ujian saringan dan juga apa yang telah dilakukan dan apakah keputusan-keputusannya kepada mereka-mereka ini yang kita maklum dalam pandemik COVID-19 ini dia menghadapi masalah kesihatan mental. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih soalan tambahan daripada YB Sungai Balang. Dan, untuk jumlah saringan pada tahun 2022 iaitu tahun lepas, jumlah kes, jumlah apa ni sampel yang kita ambil ialah 57,875 kes dan untuk maklumat tambahan, pada tahun 2021, jumlah kes yang kita mengambil untuk buat saringan adalah 35,951 dan pada tahun 2020 iaitu permulaan PKP pada tahun 2020, jumlah kes ataupun jumlah saringan yang kita ambil ialah 37,128.
Dan untuk maklumat Yang Berhormat, saya ingin memberi satu maklumat yang cukup ratio, yang jumlah kes yang kita terima, kalau kita membandingkan kes-kes yang sebelum pandemik, mungkin jumlah kes yang kita terima dan jumlah kalau nisbahnya normal dengan abnormal, kalau sebelumnya cuma 111 atau 12%. Tapi, sejak permulaan pandemik COVID-19, yang jumlah kes yang kita terima, kita terdapat bahawa lebih daripada 20% iaitu 28% pada tahun 2020, dan 21% pada tahun 2021 dan 28% adalah menunjukkan kes abnormal pada tahun 2022. Dan juga kadar ini cukup membimbangkan kita dan merisaukan kita dan juga bagi pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kita akan sedaya upaya untuk bukan sahaja daripada saringan kesihatan, daripada fizikal, kita akan terus bergerak ke setiap pelosok dalam negeri Johor untuk memberi saringan atau pun nasihat bagi bangsa-bangsa Johor. Itu sahaja. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2. Terima kasih.
Ramai masyarakat hilang pekerjaan sewaktu pandemik COVID-19 menjadi penjaja makanan dan sebagainya. Isu penjaja berniaga di tempat tidak sesuai dan tidak dilesenkan menjadi gangguan hasil mata pencarian. Apakah rancangan untuk mengatasi isu supaya mereka di tempat secara berpusat yang lebih baik dan teratur?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan selamat pagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar khususnya di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah melaksanakan dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira beberapa sudut seperti kesesuaian dan keselamatan mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja, MBIP 2020. Kawasan-kawasan yang telah dicadangkan dan dibangunkan seperti berikut :
1. Di Jalan Sri Orkid 34 telah dilaksanakan. 2. Jalan Pendidikan 3 telah dilaksanakan. 3. Tempat letak kereta pasar awam di Taman Perling telah dilaksanakan. 4. Jalan Teknologi 6, Taman Teknologi telah dilaksanakan. 5. Jalan Nusaria 3, Taman Nusantara telah dilaksanakan.
Penempatan penjaja yang telah disediakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri ini telah membuka ruang kepada penjaja-penjaja bagi menjalankan perniagaan dengan selesa, selamat dan bersih. Pihak MBIP juga akan melesenkan penjaja-penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan yang berpusat seperti di atas sekiranya penjaja-penjaja tersebut masih belum memohon lesen perniagaan. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ada satu soalan tambahan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato EXCO. Kota Iskandar ada dua PBT yang terlibat, Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang besarnya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, yang keduanya Majlis Perbandaran Kulai. Apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Datuk Speaker sebentar tadi, saya ingin merujuk kepada peniaga-peniaga yang lama berniaga secara kecil-kecilan, ibu tunggal terpaksa menyara anak, kemudian isu yang sentiasa dibangkitkan bila perjumpaan demi perjumpaan bersama ADUN dan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri kerana townhall nya mengambil kira selepas operasi dijalankan. Pertanyaan saya adalah bagaimana kita nak menyakinkan dan menjaminkan bahawa mereka-mereka yang berniaga lama, seperti ibu tunggal menyara
cucu dan anak-anak mereka ditempatkan di tempat yang bersesuaian yang premisnya boleh menjadi tarikan ramai. Kebanyakan yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, pengalaman saya mengikut lokasi yang dirizabkan oleh pihak pemaju dan sebagainya. Kadang tak strategik. Kita habis duit beratus ribu, akhirnya bila ditemu duga semula peniaga tak boleh berniaga, tutup kedai dan sebagainya. Dan saya bagi contoh, MPKu baru ini mengeluarkan notis kepada Jalan Taman Pulai Jaya dan kita, Wakil Rakyat didatangi oleh makcik-makcik ini mengatakan Datuk, apa jadi kami, niaga lama, pendapatan kami hanya berniaga pagi, sarapan pagi, menyediakan 50 bungkus nasi lemak , 30 bungkus mihun, kuih pendapatan seharian boleh dapat RM30.00 sahaja sedangkan di berhenti oleh alasan kerana Program Johor Bersih. Jangan kita jadikan alasan Johor Bersih ini kita nak menyapu bersih peniaga-peniaga yang menyara hidup mereka begitu lama. Apa kaedah PBT, dua PBT ini supaya menjaminkan mereka-mereka yang terkesan ini dapat pembelaan.
Soalan, Yang Berhormat.
Itu soalan saya. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Bila kita cerita tentang pembangunan, kalau melibatkan Majlis Bandaraya atau Perbandaran, inilah isu yang sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat bila melibatkan peniaga-peniaga kecil ini. Ada juga di peringkat PBT, di peringkat Ahli Majlis mencadangkan sesuatu penempatan penjaja yang baru seperti saya beritahu tadi, lokasi tak strategik tetapi kerajaan, PBT belanja banyak. Bila dipindahkan peniaga-peniaga ini berniaga di tempat baru dan ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya modal yang dikumpul bertahun-tahun, jadi makcik ni gulung tikar. Saya setuju dengan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar, sebab tu saya selalu berpesan kepada Datuk Bandar, Tuan YDP, Puan YDP dalam kita mengejar pembangunan, isu-isu peniaga kecil khasnya di pekan-pekan, di kampung-kampung, adakah perlu lesen PBT ni, kalau setakat dia meniaga di tepi-tepi jalan dan baru-baru ini sama juga isu di Kulai. Seorang peniaga Cina dah meniaga kat situ selama 10 tahun tetapi tidak ada lesen. Bila kita interview dia masa kita serahkan lesen selepas 10 tahun dia mohon, mereka ini adalah golongan ibu tunggal yang susah, ada anak untuk dibiayai pelajarannya, tetapi dia ibu tunggal. Jadi apa yang kita buat bila saya tanya jumpa, bila serahkan lesen itu menangis-nangis ni YB, menangis-nangis sebab apa dia kata, “YB inilah pertama kali selama 10 tahun saya meniaga dapat lesen penjaja”
Tuan-tuan dan puan-puan, Datuk-Datuk, bila kita cerita tentang membantu golongan peniaga kecil dan susah ini kita tidak boleh menggunakan undang-undang sepenuhnya, kena ada budi bicara dan pertimbangan untuk membantu orang-orang susah ini. Saya nak ambil, nak kongsilah di Dewan yang mulia ini ibu tunggal ini yang berbangsa Cina di Kulai ini dia meniaga daripada pukul 6 sampai pukul 10 aje, 6 sampai 10. Pendapatan kasar dia kadang-kadang RM100.00, RM100.00 lebih. Berapa pendapatan bersih dia, RM50.00 sahaja sebulan. Setiap hari dia meniaga daripada hari pertama sampai 30 hari, RM50.00 x 30 hari. RM1,500.00 sebulan. Inilah yang dia bayar sewa, bayar bil, support anak-anak dia.
Tuan-tuan, saya nak tanya adakah kerajaan mampu, mampu untuk menyediakan sumbangan RM1,500.00 kepada peniaga-peniaga seperti ini, tidak mampu tuan-tuan. Hatta Majlis Agama paling banyak pun RM300.00, RM500.00 bergantung, sebab tu di PBT ni tuan-tuan, kita memang ada Undang-Undang Kecil Penjaja, kita ada lesen gerai statik, ada lesen pasar, ada lesen pasar pagi, ada lesen pasar malam, ada juga lesen penjaja tepi jalan. Sebab tu di peringkat PBT baru-baru ni di 16 PBT tahun ini kita dah mula melaksanakan kelulusan lesen penjaja diluluskan dalam masa satu hari. Semua PBT, 16 PBT sebelum ini berbeza-beza dari segi borang dan sebagainya, tapi alhamdulillah tahun 2023 ini di semua 16 PBT akan guna borang yang sama, kaedah yang sama, kelulusan yang sama.
Jadi insya-Allah Yang Berhormat Kota Iskandar, saya faham bila makcik tu contohlah dia meniaga kat tepi jalan di dalam taman, Penguat kuasa datang beri notis amaran, dah meniaga 10 tahun, dah meniaga 10 tahun tuan-tuan, perlu ke diangkat gerai makcik ini. Kita buat penguatkuasaan tapi kita tak buat pembelaan. Jadi akhirnya orang-orang ini susah jadi semakin susah, kita ni pemimpin, kita dilantik mana tanggungjawab kita sebagai pemimpin atau pun sebagai ketua-ketua jabatan yang membela nasib orang-orang susah ini. Sebab tu saya selalu pesan di peringkat PBT-PBT akta, undang-undang satu perkara tetapi bila tengok makcik-makcik berniaga pasar sampai pukul 9 sampai pukul 10 tak kan nak beri amaran kecualilah kerajaan mampu menyediakan RM1,500.00 sebulan kepada mereka ini.
Baik Yang Berhormat.
Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Penawar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan nombor 3.
Apakah perancangan kerajaan untuk memperkasa atlet OKU negeri Johor dan adakah terdapat program-program khusus yang dirangka untuk golongan ini?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, selamat pagi, salam Maju Johor. Terima kasih Penawar yang mengajukan soalan, berbunyi apakah perancangan kerajaan untuk memperkasakan atlet Orang Kurang Upaya negeri Johor dan adakah terdapat program-program khusus yang dirangka untuk golongan ini?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Penawar dan seluruh Ahli Dewan Negeri dalam Dewan yang mulia ini, syukur alhamdulillah di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar kita menitikberatkan bukan sahaja golongan belia, bukan golongan B40 malahan golongan Orang Kurang Upaya juga tidak ketinggalan.
Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor merupakan focal point dengan izin, bagi memperkasakan orang kurang upaya dalam aspek sukan sama ada sukan prestasi tinggi, sukan massa dan juga rekreasi. Jabatan ini juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program-program bagi memberi impak yang optimum terhadap golongan ini. Jabatan ini juga membuat talent identification dengan izin, dalam kalangan atlet Orang Kurang Upaya bersama persatuan-persatuan sukan untuk diketengahkan ke persada sukan yang berprestij di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.
Yang Berhormat Penawar, untuk makluman di antara program-program yang telah disusun seperti sukan dwi tahunan yang disertai oleh golongan Orang Kurang Upaya adalah sukan Pra SUKMA dan sirkit-sirkit sukan yang berdasarkan acara di peringkat negeri mahu pun kebangsaan. Selain itu setiap tahun Kementerian Belia dan Sukan menurunkan waran pelaksanaan bagi program-program pembangunan golongan Orang Kurang Upaya ini seperti Carnival Inspire OKU dengan izin, Eksplorasi OKU, i-Talent, i-Train sebagai pengisian kepada golongan istimewa ini. Itu sahaja Yang Berhormat Penawar, Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker soalan tambahan saya, berdasarkan jawapan Yang Berhormat EXCO mengenai pelaksanaan talent identification dalam kalangan atlet OKU bersama persatuan sukan bolehkah Yang Berhormat EXCO perincikan sukan yang terlibat termasuk bilangan atlet OKU yang dilibatkan dalam inisiatif tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Penawar di atas soalan tambahan. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Penawar, di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor selaku focal point dengan izin, dalam pembangunan sukan OKU sebagaimana yang saya nyatakan seawal tadi yang telah melaksanakan inisiatif pencarian bakat baru iaitu talent identification dan latihan susulan melalui program inspire, i-Talent dan i-Train yang mensasarkan golongan Orang Kurang Upaya. Kedua-dua program ini dilaksanakan dengan kerjasama penggerak sukan OKU dan persatuan sukan OKU bagi mengenal pasti bakat-bakat baru ini sama ada semasa dalam program yang berlangsung.
Untuk makluman Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri terdapat 10 sukan Para Sukan yang dipertandingkan di Kejohanan Sukan Para Sukan SUKMA iaitu, Para Renang, Para Lawn Bowl, Para Ping Pong, Para Olahraga, Para Badminton, Para Catur, Para Wrestling, Boshar, Para Memanah. Dan untuk makluman Ahli Dewan juga, berdasarkan waran peruntukan profil program ini dilaksanakan di peringkat negeri dan telah melibatkan seramai 97 orang.
Untuk rekod 34 Orang Kurang Upaya adalah atlet baru, yang telah dilahirkan melalui program i-Talent dan i-Train pada tahun 2022. Dan telah pun terpilih untuk menyertai kontinjen Para SUKMA Johor untuk bertanding di Temasya Sukan Para SUKMA ke 20 Majlis Sukan Negeri MSN Kuala Lumpur pada tahun 2022 yang lepas. Dan alhamdulillah memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam acara Sukan Para Olahraga, Para Catur dan Para Ping Pong serta Power Lifting. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.
Mohon pihak JKM menambah elaun tenaga pengajar PKPDK supaya tidak lagi sebanyak RM1,200.00 memandangkan gaji minimum pada ketika ini adalah sebanyak RM1,500.00.
Tahniah Yang Berhormat Senggarang menang, (Dewan bertepuk) tapi bos dia kalah, apa sudah jadi. Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat pagi, salam Maju Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan 5.
Bilakah kali terakhir elaun guru Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) disemak dan adakah kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar elaun tersebut selaras perkembangan ekonomi semasa?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ucapkan terima kasih kepada Senggarang dan Pekan Nanas. Saya menjawab soalan ini bersekali Yang Berhormat Datuk Speaker. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih PKPDK atau lebih sebagai Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti di negeri Johor. Pada
pembentangan bajet tahun 2021, kerajaan persekutuan telah mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia, petugas PDK. Sehubungan itu mulai Mac 2021 kadar sagu hati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan dari RM1,200.00 sebulan kepada RM1,500.00 sebulan, sementara elaun yang diterima oleh petugas pula adalah sebanyak RM1,200.00 sebulan berbanding RM800.00 sebelum ini.
Sukacita dimaklumkan juga bahawa kerajaan negeri Johor melalui tahun 2015, setiap penyelia dan petugas telah menerima elaun tambahan dari kerajaan sebanyak RM200.00 sebulan bagi setiap penyelia dan petugas. Oleh itu jumlah keseluruhan elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,700.00 sebulan dan petugas sebanyak RM1,400.00 sebulan. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih PKPDK di negeri Johor.
Pada pembentangan bajet tahun 2021 kerajaan persekutuan juga telah mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia, petugas dan PDK di negeri Johor. Sehubungan dengan itu pada pembentangan bajet tahun 2021 kerajaan persekutuan mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia dan petugas PDK. Kadar sagu hati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200.00 kepada RM1,500.00. Sementara elaun yang diterima adalah sebanyak RM1,200.00 berbanding RM800.00 sebelum ini. Sukacita ingin dimaklumkan juga Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti adalah sebuah persatuan pertubuhan yang melaksanakan program pemulihan dalam komuniti yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1996, (Akta 335) yang mempunyai entiti perundangannya tersendiri dan adalah berbeza dengan kerajaan. Secara amnya, pertubuhan ini bebas untuk mentadbir mengikut perlembagaan, penetapan waktu bekerja dan elaun tambahan yang mereka fikirkan sesuai. Dimaklumkan juga bahawa penyelia dan petugas PKPDK dilantik oleh Jawatankuasa Pertubuhan dan bertugas secara sukarela di Pusat PDK itu atau di rumah. Bagi menghargai penglibatan penyelia dan petugas sebagai sukarelawan di bawah seliaan pertubuhan dalam menjayakan Program Pemulihan Dalam Komuniti.
Elaun ini dibayar kepada mereka berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan. Ini bermakna, mereka tidak terikat dengan gaji minimum sebagai seorang pekerja. Pertubuhan boleh membuat penetapan mengenai bayaran tambahan kepada penyelia dan petugas PKPDK bergantung kepada kaedah pengambilan penyelia dan petugas oleh pertubuhan itu sendiri sama ada secara contract of service atau secara contract for service.
Bagi contract for service, seseorang itu dibayar untuk melakukan suatu tugasan dan tiada syarat perkhidmatan yang ditetapkan. Manakala contract of service, ialah pertubuhan sebagai majikan kepada penyelia, petugas tersebut. Penyelia dan petugas pula sebagai pekerja. Sebagai majikan, pertubuhan boleh membuat apa-apa penetapan mengenai apa-apa syarat perkhidmatan, mengenai tempoh bekerja dan tambahan elaun lain yang difikirkan sesuai oleh pertubuhan tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Sila, Pekan Nanas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tambahan saya A150 dengan A153 berdasarkan jawapan Yang Berhormat sebentar tadi, berapa jumlah penerima Bantuan Khas Kewangan bagi penyelia dan petugas PKPDK di negeri Johor? Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap penyelia dan petugas akan menerima Bantuan Khas Kewangan mengikut pengumuman oleh kerajaan negeri Johor pada setiap tahun. Saya kongsikan jumlah penerima Bantuan Khas Kewangan ini setiap tahun, Yang
Berhormat Datuk Speaker. Tahun 2016, jumlah seramai penerima 422 orang. Jumlah keseluruhan yang kerajaan negeri keluarkan adalah sebanyak RM633,000.00. Bagi tahun 2017, seramai 427 penerima iaitu RM470,000.00. Bagi tahun 2018, adalah seramai 447 penerima iaitu RM447,000.00. Bagi tahun 2019, 448 penerima RM670,000.00. Bagi tahun 2020, 430 penerima, RM860,000.00. Bagi tahun 2021, 443 penerima sebanyak RM896,000.00 dan pada tahun 2022 seramai 433 penerima dengan jumlah keseluruhan adalah RM866,000.00. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput, Yang Berhormat Gambir.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan nombor 7. Terima kasih.
Apakah rancangan pembangunan dan strategi pemasaran bagi menjadikan Gunung Ledang sebagai destinasi utama pelancongan Johor.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 2 kawasan yang berada di bawah kelolaan Perbadanan Taman Negara Johor iaitu Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda yang terletak pada Batu 26, Jalan Segamat-Sagil, Ledang dan Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall pula terletak pada Batu 28, Jalan Segamat, Ledang.
Pewartaan Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda pada 3 Oktober 2005 yang meliputi kawasan seluas 8,611 hektar dan merupakan gunung tertinggi di selatan semenanjung Malaysia dengan ketinggian 1,276 meter. Manakala bagi Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall pula, pengambilalihan daripada pihak swasta telah pun bermula pada sekitar tahun 2022 dan kini fasa pembaikpulihan sedang giat dijalankan.
Antara tarikan utama di kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda adalah menerusi pakej-pakej pendakian harian dan juga bermalam. Antara pakej-pakej yang popular yang menjadi tarikan utama pendaki dari dalam dan luar negara adalah Pakej Summit Attack, Pakej Twinfall yang merupakan Pakej Mendaki Harian dan Pakej Sunrise Pursuit iaitu Pakej 2 Hari 1 Malam. Terdapat juga pakej bermalam bagi tempoh 3 hari iaitu Pakej Alfred Russel Wallage.
Pada tahun 2022, sebanyak 22,089 pelawat tempatan dan 1,402 pelawat luar negara telah berjaya direkodkan. Peningkatan yang ketara secara keseluruhan jika dibandingkan kemasukan pelawat bermula pada tahun 2019 ialah 8,585, 2020 5,679 dan 2021 4,179 orang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara strategi pemasaran yang dilaksanakan adalah dengan merancang beberapa program yang berimpak tinggi yang telah pun dijalankan pada tahun 2022. Antara contoh adalah konvoi Jom ke Taman Negara Johor yang merangkumi peserta yang disertai oleh Gabungan Kelab Bikers Wanita yang merangkumi peserta dari dalam dan luar negara seramai lebih daripada 100 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Promosi secara tidak langsung melalui hebahan media sosial facebook, instgram dan juga tik tok oleh individu yang terlibat telah membantu mempromosikan Gunung Ledang sebagai salah satu destinasi persinggahan di negeri Johor.
Pihak Perbadanan Taman Negara Johor juga telah membuat video-video bagi memaparkan kawasan menarik melalui paparan khas video bagi setiap taman tidak terkecuali Gunung
Ledang. Paparan ini boleh dilihat di laman rasmi YouTube Perbadanan Taman Negara Johor iaitu Johor National Parks.
Antara kaedah lain seperti memasarkan produk pelancongan di Gunung Ledang melalui pameran-pameran tempatan dan antarabangsa yang telah disertai seperti Majlis Sambutan Jubli Mutiara PTNJ yang ke-30, Promosi sempena Hari Landskap Negara, Festival Bangsa Johor, Pendaftaran ke Domestic Summit 2022, Pameran Batam EXPO Welcome to Malaysia 2022, Corporate Travel Bazaar di Kelantan, Majestic Johor Festival, Pameran sempena Fun Ride Penghujung Benua Asia, Konvoi Motosikal, Hebah-hebahan brochure di industri perhotelan di sekitar Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi perancangan tahun 2023 pula, bagi menarik lagi kemasukan pelawat ke Taman Negara Johor Gunung Ledang adalah melalui penganjuran Karnival Johor Gunung Ledang bersempena dengan pembukaan kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall kelak. Karnival selama 3 hari yang akan memberi peluang kepada komuniti setempat dan menjana ekonomi bagi mempergiatkan lagi industri pelancongan di Tangkak. Tambahan lagi, cadangan penganjuran Gunung Ledang International Climbathon bagi menarik pendaki dari dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi aktiviti rekreasi di kawasan Gunung Ledang yang terkenal dengan aktiviti pendakian.
Bagi perancangan pembangunan di Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall bagi tahun 2022 ialah bagi menaik taraf kemudahan yang ada seperti pembinaan tandas baharu, pembinaan pintu gerbang, pembinaan kafe untuk pengunjung dan pemasangan sistem auto gate. Manakala perancangan di Taman Negara Johor Gunung Ledang Lagenda pula ialah menaik taraf kaunter pendaftaran bagi kemudahan pendaki-pendaki.
Perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 diharap akan dapat meningkatkan imej Taman Negara Johor serta memberi keselesaan kepada pengunjung yang akan datang ke Taman Negara Johor. Selain itu, Perbadanan Taman Negara Johor dalam proses untuk menyediakan satu dokumen Pelan Pembangunan Taman-Taman Negara Johor Selama 5 Tahun yang mana dokumen lengkap tersebut dilihat akan dapat meningkatkan imej taman negara kelak. Terima kasih.
Terima kasih YB EXCO di atas jawapan sebentar tadi. Soalan tambahan saya, apakah impak sosial dan impak ekonomi yang boleh diharap dan dijangkakan selepas pembukaan semula Taman Negara Johor Gunung Ledang nanti? Terima kasih.
Terima kasih YB Gambir. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti dimaklumkan tadi, satu karnival akan dianjurkan selama 3 hari yang akan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menjana ekonomi bagi mempergiatkan lagi industri pelancongan Tangkak akan dijalankan pada hari pembukaan Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall.
Selain itu, dengan pembukaan Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall, ia akan bagi peluang lebih kepada homestay-homestay yang berdekatan dengan Gunung Ledang Waterfall tersebut. Peniaga-peniaga tempatan yang telah dipilih juga untuk berniaga di gerai jualan di Taman Negara Johor Gunung Ledang Waterfall. Terdapat 8 unit gerai makanan, minuman dan peralatan rekreasi serta 3 unit gerai cenderamata yang akan dibuka dan beroperasi.
Selain itu juga, Taman Negara Johor Gunung Ledang akan sering mengadakan karnival jualan di kawasan parking, pada hari cuti umum dan hujung minggu yang akan meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih atas penjelasan yang diberi oleh YB EXCO. Berkenaan dengan pembukaan semula air terjun Gunung Ledang dan juga kerja-kerja naik taraf Taman Negara Gunung Ledang, Tangkak ingin tanya adakah cadangan ataupun rancangan dari segi mempromosikan atau pun pengiklanan sebab kita sedia maklum laluan utama untuk sampai ke Taman Negara Gunung Ledang ini ada beberapa tempat kalau dari utara, Lebuh raya Utara - Selatan yang dari utara perlu masuk melalui Plaza Tol Tangkak, yang dari selatan boleh melalui Plaza Tol Bukit Gambir. Dan dari Pantai timur pula boleh melalui Segamat dan Jementah. Jadi, adakah rancangan atau pun persediaan dari segi pengiklanan untuk bandar-bandar seperti Tangkak, Bukit Gambir, Jementah ataupun Muar supaya lebih ramai pelancong dapat sampai ke destinasi Taman Negara Gunung Ledang? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Seperti promosi-promosi yang antarabangsa saya telah pun nyatakan, buat masa ini kita akan berbincang dengan PBT Tempatan untuk mengadakan lebih banyak billboard-billboard kalau boleh dijalankan dan juga pamplet sekitar kedai-kedai untuk makluman pelancong-pelancong yang datang ke daerah Tangkak dan boleh singgah ke Gunung Ledang. Tapi apa pun, orang yang datang ke Tangkak biasanya dah tahu Gunung Ledang itu. Kita lebih kena fokuskan kepada daerah-daerah lain dan juga kita juga akan buatkan promosi-promosi gambaran di Senai Airport misalnya pengunjung baharu yang datang akan lebih tahu pasal Gunung Ledang. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Panti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.
Johor mempunyai banyak kawasan-kawasan perindustrian yang diwujudkan bagi mendokong sektor-sektor perkilangan ini. Apakah inisiatif daripada kerajaan negeri Johor untuk memastikan kawasan-kawasan perindustrian ini dapat dioptimumkan sepenuhnya bagi memastikan manfaat yang besar kepada penduduk?
Yang Berhormat Datuk Speaker. Mengikut data Invest Johor, Johor mempunyai 143 kawasan perindustrian. Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor, kerajaan negeri menggalakkan pembukaan kawasan perindustrian baharu yang berkonsepkan land industrial area atau kawasan perindustrian terancang dengan utiliti serta kemudahan asas yang lengkap dan kondusif untuk para pelabur.
Ia adalah selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang telah pun menubuhkan Unit Khas, Industrial Estate Unite melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.
Di peringkat kerajaan negeri Johor kelak, 3 inisiatif telah pun dijalankan untuk menyokong dan membantu ekosistem di kawasan perindustrian.
Pertama, Industrial Park Management Committee. Ahli-ahli IPMC yang ditubuhkan adalah terdiri daripada agensi-agensi perkhidmatan kerajaan, separa kerajaan, persatuan pengilang-pengilang tempatan dan juga pihak industri. IPMC dipengerusikan oleh Tuan
Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan dan berfungsi sebagai platform perantara antara pihak industri dengan pihak jabatan kerajaan yang berkaitan untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah-masalah industri yang dihadapi. Dan melalui IPMC, pihak PBT dapat memantau permasalahan sesuatu kawasan industri dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Ini secara langsung membolehkan PBT-PBT menyediakan kawasan perindustrian yang lebih kondusif dan memberikan imej yang lebih baik kepada para pelabur.
Dan kedua, Jawatankuasa Pelaburan Johor, JIC. Johor Investment Committee yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk melaraskan polisi dan dasar-dasar kerajaan negeri mengenai pelaburan supaya diterima pakai dan diambil tindakan sewajarnya selain pemantauan secara berkala bagi industri-industri yang sedia ada. Isu-isu dasar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri akan diangkat dan dimuktamadkan keputusannya dalam Mesyuarat JIC.
Ketiga, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri. Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Menteri MITI bagi menyelaras isu-isu berkaitan permohonan industri antara kerajaan negeri Johor dengan kerajaan persekutuan. Keputusan mesyuarat ini yang memerlukan perhatian dasar atau pun bajet kerajaan persekutuan akan diangkat dan dibincangkan dalam mesyuarat ini. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan bagi soalan saya tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita tengok kawasan perindustrian ini macam Yang Berhormat EXCO beritahu tadi, banyak merata negeri Johor. Ada yang kecil, ada yang besar, ada yang lama, ada yang baru. Dan, kawasan perindustrian ini diwujudkan oleh pelbagai pihak. Maksudnya ada agensi kerajaan mewujudkan, ada pihak kerajaan sendiri, ada pihak swasta. Lepas tu, kalau dah lama ini kadang-kadang isu dia terbiar maksudnya. Tapi, macam Yang Berhormat EXCO beritahu tadi ada satu Jawatankuasa Peringkat Daerah. Cuma saya nak tanya, soalan saya, kadang-kadang kita di peringkat penduduk, masyarakat ini kita tak tahu apa yang berlaku tentang mesyuarat itulah. Jawatankuasa itu kita tak tahu dan kita pun tak dimaklumkan bagaimana mungkin kerajaan negeri pantau perkara ini untuk pastikan keperluan industri yang berada di kawasan masing-masing ini dapat kita hubungkan dengan masyarakat, dengan mungkin pelabur. Sebab kadang-kadang ada yang berminat, tapi kita pun tak tahu macam mana nak proceed ke depanlah untuk kita sama-sama bantu majukan kawasan perindustrian ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Panti. Invest Johor merupakan ahli kepada IPMC, Industrial Park Management Committee yang bermesyuarat setiap suku. Maka saya cadang supaya sekiranya ada apa-apa masalah setempat maka kita boleh melalui Invest Johor untuk bangkitkan di dalam mesyuarat IPMC dan seterusnya melalui mesyuarat JIC untuk diambil tindakan susulan. Terima kasih.
Jemput, Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tadi YB EXCO jawab ada sebut mengenai menciptakan peluang pekerjaan. Tahniah kerana mencatat penarikan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM70.6 bilion untuk tahun 2022. Soalan tambahan saya adalah setakat ini, berapakah antara RM70.6 bilion ini yang dikirakan sebagai komited amaun, berapa persen, progres ataupun berapa peratusan telah direalisasikan yang maksudnya pelaburan sudah masuk ke Malaysia atau ke Johor? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Daripada jumlah RM70.6 bilion tersebut, RM58.785 bilion adalah foreign direct investment (FDI) iaitu sebanyak 83.26%, manakala RM11.819 bilion adalah DDI, domestic direct investment iaitu 16.74%. Dan, daripada jumlah RM7.6 bilion tersebut, peluang pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan adalah sebanyak 16,762 dan jumlah projek yang diluluskan adalah 570. Dan, progress untuk pelaburan komited ini adalah ada yang melibatkan masa sebanyak 3 tahun, ada yang melibatkan 5 tahun, ada yang melibatkan 10 tahun. Maka, setakat ini kita belum ada satu peratusan yang terperinci tapi untuk dalam masa terdekat, sebab ini adalah untuk tahun lepas. Harap, mudah-mudahan dalam Sidang yang akan datang saya dapat memberikan satu angka yang lebih terperinci. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Bekok.
Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bekok nombor 9. Terima kasih.
Jalan antara bandar Labis ke Perumahan Awam Jalan Muar Labis adalah merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan maut akibat binatang peliharaan dan binatang liar. Mohon kerajaan negeri untuk memasang lampu jalan di kawasan tersebut.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bekok. Untuk makluman semua, jarak antara bandar Labis ke Perumahan Awam Jalan Muar Labis adalah sepanjang 4.6 km. Hasil siasatan di tapak mendapati sepanjang 3 km telah pun dipasang lampu jalan yang di selenggara oleh pihak TNB. Manakala selebihnya masih tiada lampu jalan. Oleh itu, kerajaan negeri melalui fasa pertama akan memperuntukkan RM100,000.00, namun begitu kajian kaedah pemasangan masih lagi dalam pertimbangan. Sama ada pemasangan lampu jalan jenis LED, 12 batang lampu jalan dengan jarak 420 meter atau pun pemasangan lampu jalan jenis solar LED, 10 batang lampu jalan dengan jarak 300 meter. Insya-Allah pihak Jabatan Kerja Raya akan menghubungi ADUN Bekok untuk penilaian selanjutnya. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.
Minta dinyatakan usaha kerajaan dalam membantu usahawan di bidang pertanian dan penternakan yang terkesan akibat perubahan iklim dan bencana banjir.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Pertanian adalah perniagaan. Sedia maklum aktiviti perniagaan termasuk aktiviti sektor pertanian sudah tentu akan berhadapan dengan pelbagai risiko dan cabaran. Ianya termasuklah risiko berhadapan bencana alam seperti banjir dan perubahan iklim. Walau bagaimanapun, kerajaan akan mengambil berat akan nasib yang menimpa para pengusaha sektor ini dengan bantuan-bantuan insentif yang disediakan.
Untuk makluman, banjir yang melanda negeri Johor baru-baru ini turut memberi impak kepada pengusaha sektor pertanian dan industri agro-makanan keseluruhannya. Berdasarkan dapatan daripada jabatan dan agensi di bawah sektor pertanian sehingga setakat ini seramai 4,862 orang telah terkesan dan melibatkan anggaran awal nilai kerugian
sebanyak RM35,524,600.00. Ianya termasuklah usahawan-usahawan tani daripada pelbagai sektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani bimbingan jabatan-jabatan di bawah portfolio sektor pertanian. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengeluarkan SOP berkaitan bencana kepada semua agensi berkaitan di bawahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana kepada sektor agro-makanan. Bantuan ihsan ini adalah bagi membantu memulihkan dan melaksanakan semula projek dan bukanlah bertujuan untuk membayar ganti rugi kerosakan akibat bencana. Umumnya insentif bantuan bencana agro-makanan terbahagi kepada dua sumber peruntukan iaitu insentif melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan insentif melalui Projek Pembangunan Pertanian kerajaan negeri Johor.
Terdapat 2 jenis insentif bantuan bencana ini. Yang pertama, Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP). Bantuan ini diberikan kepada petani dan pengusaha dalam kawasan jelapang padi atau luar jelapang. Ianya adalah bantuan berbentuk kewangan dan bukan kewangan iaitu input pertanian tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Induk Tabung Bencana Tanaman Padi. Yang kedua, peruntukan Pembangunan Semula Projek Agro-Makanan (PPSPA). Bantuan ini pula disasarkan kepada golongan petani, penternak, nelayan, pertubuhan peladang, pemasar agro-makanan, pengusaha akuakultur, pengusaha industri makanan dan asas tani (IMAT), pengusaha agro-pelancongan dan persatuan atau koperasi berasaskan pertanian yang berdaftar dengan jabatan dam agensi yang berkaitan. Ianya adalah bantuan bukan kewangan iaitu input pertanian, peralatan dan mesin mengikut nilai kadar yang ditetapkan atau bantuan lain yang bersesuaian dan diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Peruntukan Pembangunan Semula Agro, Jawatankuasa Induk Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agro-Makanan.
Untuk rekod, pada tahun 2022 kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian telah memperuntukkan pelbagai bantuan kepada mangsa bencana antaranya RM100,000.00 bagi membantu 70 orang pengusaha sektor pertanian yang terjejas akibat bencana. Manakala kerajaan pusat menerusi Jabatan Pertanian juga telah memperuntukkan sebanyak RM491,455.00 dengan manfaat kepada 94 orang dan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, RM92,802.00 telah diperuntukkan bagi membantu 82 orang pesawah padi yang terkesan akibat banjir dan ribut. Manakala bagi penternakan pula, seramai 135 orang penternak dalam negeri Johor yang terjejas akibat banjir, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.39 juta bagi membantu penternak tersebut. Dan, pada tahun ini sahaja, 185 orang penternak terjejas banjir baru-baru ini telah menerima bantuan makanan ternakan dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM72,000.00. Dalam sub-sektor perikanan akuakultur pula, 23 pengusaha telah menerima bantuan Jabatan Perikanan dengan nilai peruntukan sebanyak RM246,366.00 dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia telah membantu 11 pengusaha yang terjejas banjir dengan peruntukan sebanyak RM182,372.00.
Dalam membantu usahawan di bidang pertanian dan penternakan dalam kalangan pekebun kecil RISDA pula, yang terkesan akibat perubahan iklim dan banjir, RISDA telah pun menyediakan program aktiviti ekonomi tambahan atau AET yang merupakan salah satu inisiatif bagi membantu usahawan untuk meneruskan perniagaan setelah terkesan akibat bencana terutamanya banjir. RISDA telah memperuntukkan sebanyak RM119,000.00 dan telah memberi manfaat kepada 39 orang usahawan yang terkesan. Kadar bantuan adalah RM3,000.00 setiap permohonan secara One-Off dengan skop bantuan merangkumi perkara seperti bayaran sewa premis, pembelian peralatan, pembelian mesin, baik pulih mesin dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, 384,000 pengusaha telah menerima bantuan pada tahun 2022 dan 185 orang pada tahun ini peringkat awal, dengan nilai keseluruhan peruntukan sebanyak RM2,576,838.00. Secara keseluruhannya Datuk Speaker, kerajaan amat mengambil berat terhadap nasib yang melanda mangsa banjir terutamanya dalam kalangan pengusaha-
pengusaha sektor pertanian. Selain daripada mengambil kira kebajikan para pengusaha, bantuan yang diberikan juga penting bagi melaksanakan semula aktiviti pengeluaran agro-makanan bagi menjamin sekuriti makanan negeri dan negara amnya. Terima kasih.
Sila...
Terima kasih pada YB EXCO di atas jawapan tadi yang saya kira melibatkan juga IKS, bantuan-bantuan yang diberikan akibat terlibat bencana banjir. Bila Yang Berhormat EXCO tadi sebut padi, Parit Raja ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas hubungan baik kerajaan negeri, pihak JPS dan juga kerajaan negeri Perlis kerana pam-pam yang diletakkan di Parit Raja adalah dari negeri Perlis kerana banyaknya padi di negeri Perlis. Jadi, soalan tambahan saya, bila dah sebut tadi usaha-usaha pihak kerajaan negeri sebenarnya macam mana cara nak mohon, macam mana kaedahnya dan bila boleh sampai kepada rakyat yang terkesan. Terima kasih.
Terima kasih kepada Parit Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan bagaimana usaha untuk mempercepatkan atau pun prosedur mendapatkan bantuan. Bagi mempercepatkan perlaksanaan bantuan kepada pengusaha-pengusaha yang terjejas khasnya banjir pada tahun 2023 ini, beberapa langkah alternatif telah diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan. Antaranya membuat bancian awal ke kawasan terjejas banjir bagi mendapatkan anggaran awal.
Datuk Speaker, saya boleh ringkaskan untuk prosedur bantuan ini ialah yang pertama, petani yang terkesan dengan bencana boleh membuat permohonan di Pejabat Daerah, Pejabat Pertanian Daerah masing-masing bersama dokumen permohonan bencana iaitu melengkapkan borang permohonan bencana Borang C bersertakan gambar atau video kejadian bencana berserta laporan Polis.
Yang kedua, aktiviti bancian dan siasatan bagi menilai anggaran kerosakan tanaman dan luas musnah akibat bencana akan dijalankan oleh agen pengembangan tanaman atau Pegawai Pertanian Daerah mengikut permohonan petani. Dan pengesahan permohonan bencana akan diluluskan oleh Jabatan Pertanian Negeri bagi peruntukan negeri dan permohonan akan disokong di peringkat negeri seterusnya di peraku oleh ibu Pejabat Jabatan Pertanian sebelum diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk peruntukan persekutuan. Dan kelulusan permohonan adalah di peringkat Jabatan Pertanian Negeri dan Kementerian. Penyaluran bantuan akan dibuat kepada golongan sasar mengikut kelulusan Jawatankuasa sama ada pemberian berbentuk kewangan tunai atau bukan.
Kesimpulannya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mencadangkan semua petani, penternak atau nelayan yang terjejas dengan banjir yang sedang berlaku ini sila laporkan ke jabatan peringkat daerah masing-masing berserta gambar dan video kerana sekarang ni sedang berlaku mudah untuk kita sertakan dokumen tadi. Saya bimbang selepas waktu ini kita sibuk mempersiapkan diri dalam pasca banjir nak puasa pulak, raya pulak, saya bimbang mereka lupa untuk mendapatkan gambar atau video serta laporan Polis. Sekian terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Senggarang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11. Terima kasih.
Ramai guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ) telah berhijrah ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Mohon agar pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM)
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dapat mengisi kekosongan tersebut dengan kadar yang segera.
Saya jemput Yang Berhormat Pemanis.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 12.
Bilakah kerajaan negeri akan melantik 200 kekosongan guru agama gred DG29 dan bilakah kerajaan akan membuat perubahan dan rasionalisasi jawatan guru KAFA kepada jawatan kontrak S29 dan S19 setelah lebih 40 tahun mereka hanya dibayar gaji secara elaun sahaja?
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker, Terima kasih Yang Berhormat Senggarang dan Yang Berhormat Pemanis. Saya minta izin untuk kedua-dua soalan ini dijawab secara bersekali. Yang Berhormat Pemanis dan Yang Berhormat Senggarang membangkitkan pertanyaan sama ada pengisian kekosongan guru-guru agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor sudah diuruskan dan apakah statusnya.
Untuk makluman Yang Berhormat sidang Dewan yang mulia, kerajaan negeri mengambil berat akan isu kekosongan guru-guru yang dihadapi di Sekolah-sekolah Agama kerajaan Johor yang menyebabkan sebahagiannya berhijrah ke Kementerian Pelajaran Malaysia yang akhirnya menyebabkan isu kekosongan guru-guru di sekolah-sekolah agama semakin bertambah.
Bagi mengatasi masalah ini dari terus berlaku, pengisian kekosongan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi gred DG29 dan DG41 bagi guru-guru Agama Kerajaan Johor sentiasa di dalam perhatian dan tindakan kerajaan negeri. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat kekosongan guru-guru agama setakat ini berjumlah 565 orang bagi waran gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41. Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam telah membuat permohonan kepada Setiausaha Kerajaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk membuat lantikan Pegawai Perkhidmatan bagi gred-gred tersebut.
Perbincangan telah pun di buat pada 11 Disember 2022 dan pada 18 Januari 2023 tahun ini Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah pun sekali lagi bermesyuarat dengan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, bagi membincangkan isu lantikan dan pengisian guru-guru tersebut. Dan hasil mesyuarat tersebut dicadangkan untuk dibuat lantikan secara kontrak secara berperingkat bagi mengatasi masalah kekosongan guru-guru ini.
Cadangan lantikan secara kontrak atas waran tetap adalah disebabkan oleh kekangan kewangan ketika ini. Lantikan kontrak ini dicadangkan bagi memenuhi keperluan semasa. Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah memohon lantikan secara kontrak sebanyak 485 waran bagi jawatan guru DG29 dan 57 waran bagi jawatan guru DG41. Tindakan ini seterusnya akan dibawa oleh pihak BPSM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ).
Bagi maksud kebimbangan daripada berterusan, pihak saya sendiri akan memastikan urusan dan perbincangan ini disegerakan dalam tempoh yang terdekat. Yang Berhormat Pemanis juga bertanya mengenai rasionalisasi jawatan guru KAFA untuk diserap kepada jawatan kontrak bagi gred perjawatan S29 dan S19. Untuk makluman Yang Berhormat serta
Dewan yang mulia, waran bagi guru KAFA negeri Johor sebanyak 2,000 waran dan sebanyak 1,985 waran telah pun diisi bagi jawatan tersebut.
Kerajaan negeri amat memahami skop tugasan yang dipikul oleh guru KAFA amat besar bahkan sebahagiannya hampir menyamai dengan skop tugasan guru-guru sekolah agama Johor sedia ada, sekali pun mereka hanya dibayar elaun RM1,000.00 dari JAKIM dan RM512.00 dari kerajaan negeri. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor sedaya upaya membantu menambah baik lantikan guru-guru KAFA ini dengan cara mencadangkan perjawatan tersebut dinaik taraf kepada gred S19 dan perkara tersebut telah pun dimajukan kepada pihak JAKIM berikutan guru KAFA merupakan di bawah seliaan dan juga lantikan JAKIM.
Walau bagaimanapun, dalam sesi perbincangan bajet persekutuan baru-baru ini yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, kerajaan persekutuan telah pun bersetuju menaikkan elaun guru KAFA di seluruh negara sebanyak RM100.00 yang juga memberi manfaat kepada 1,985 orang guru KAFA di negeri Johor. Perkara ini merupakan usaha bersama, bahkan saya sendiri telah pun membangkitkan isu ini semasa sesi dialog Belanjawan 2023 bersama Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan di Kota Iskandar pada 16 Februari yang lalu. Alhamdulillah ianya telah didengar oleh kerajaan persekutuan.
Untuk makluman Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian guru KAFA yang berkhidmat di negeri Johor juga turut menerima bantuan khas kewangan tahun 2022 sebanyak minima RM1,000.00 sekurang-kurangnya yang telah pun selesai proses pembayarannya pada 17 Februari yang lalu. Kerajaan Johor amat memahami situasi yang dialami oleh guru-guru KAFA di negeri Johor dan apa-apa tindakan yang dibuat oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan bagi maksud menaiktaraf perjawatan tersebut akan sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan kami. Terima kasih Yang Berhormat-Yang Berhormat atas pertanyaan yang telah pun diberikan. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Sila Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang telah dapat memberikan jawapan sebentar tadi. Saya bertanya soalan ini kerana kita mendapat aduan daripada guru-guru sekolah agama ini berkaitan dengan kebajikan mereka, cuma soalan tambahan saya Datuk Speaker, adakah guru-guru yang memangku tugas-tugas kekosongan yang ada ini diberikan sebarang elaun atau pun insentif kepada mereka kerana terpaksa memangku kerja-kerja yang sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab kepada mereka dan bilakah agaknya program pemberian skim SOCSO ini akan dilaksanakan kepada guru-guru agama ini termasuk kepada guru-guru KAFA ini. Terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Buat masa ini guru-guru yang memangku mahu pun mengambil tugas guru-guru sedia ada di sekolah agama tiada elaun-elaun khas atau pun tambahan yang diberikan. Walau bagaimanapun, kami mengambil kira beban yang ditanggung ini dan sudah pastilah saya sendiri akan mengambil kira dan melihat keperluan-keperluan tambahan bagi menjaga kebajikan dan manfaat guru-guru yang bertugas luar daripada skop dan juga beban tugas sedia ada.
Bagi maksud pembayaran elaun SOCSO dan juga KWSP bagi guru-guru KAFA ianya pun telah dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan bahkan tambahan elaun yang diberikan oleh kerajaan Johor ketika ini juga telah meliputi sebahagian daripada kebajikan guru-guru tersebut. Terima kasih YB Pemanis dan saya mengambil tanggungjawab untuk terus meneliti kebajikan dan manfaat guru-guru ini agar terus segera diberikan perhatian
terutamanya dari aspek pengambilan guru-guru lantikan bagi mengurangkan beban guru-guru sedia ada. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang. Tahniah Yang Berhormat.
Terima kasih Datuk Speaker, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Soalan Pulai Sebatang nombor 13, terima kasih.
Status pemilikan Rumah Mampu Milik Bangsa Johor. Apakah telah dibuat penambahbaikan dalam proses permohonan berkaitan penukaran nama bagi status tanah di bawah Pejabat Tanah Negeri dari segi tempoh, masa. Hal ini kerana, proses yang sedia ada mengambil masa yang terlalu lama.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Soalan YB Pulai Sebatang berbunyi, apakah telah dibuat penambahbaikan dalam proses permohonan berkaitan penukaran nama bagi status tanah di bawah Pejabat Tanah Negeri dari segi tempoh, masa. Yang Berhormat Datuk Speaker, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) merujuk kepada rumah kos rendah dan sederhana yang komponennya merangkumi RMMJ (A) RMMJ (B) RMMJ (C) dan RMMJ (D) dan kedai kos sederhana. Sebelum penyempurnaan pindah milik di Pejabat Tanah dan Galian atau PTG dilakukan pemohon hendaklah mendapatkan terlebih dahulu kebenaran pindah milik dari PKPJ atau Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor.
Bagi Rumah Mampu Milik Johor atau RMMJ, permohonan kebenaran pindah milik dibahagikan kepada 2 kategori iaitu pindah milik secara kasih sayang dan pindah milik secara jual beli dan proses kedua-dua kategori ini telah pun ditambah baik dengan pelaksanaan inisiatif seperti berikut: Pertama, proses kerja dipendekkan daripada 14 hari bekerja kepada 7 hari bekerja. Kedua, green lane inisiatif proses atau proses pindah milik melibatkan ahli keluarga dengan kelulusan serta merta. Ketiga, permohonan pindah milik secara atas talian menggunakan sistem e-Rumah. Keempat, pengurangan dokumen permohonan pindah milik daripada 10 dokumen kepada 6 dokumen. Kelima, pembayaran permohonan pindah milik secara atas talian melalui aplikasi JohorPay. Terima kasih
Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 14.
Nyatakan rancangan pemulihan laluan penerbangan antarabangsa dan laluan penerbangan baru.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya atas soalan. Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. sememangnya mempunyai pelbagai usaha dan inisiatif bagi menarik minat syarikat-syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa untuk penerbangan terus ke negeri Johor. Selepas pandemik COVID buat masa ini pada tahun 2022 kita dah ada lebih kurang 406 Weekly flight iaitu yang kita ambil kira daripada arrival dan juga departure dan flight international pula adalah untuk ke Ho Chi Minh City, Bangkok, Jakarta dan juga Surabaya. Dan bagi tahun 2023 Senai Airport telah merancang akan memulakan penerbangan secara terus dari Guangzhou China, serta Busan, Korea bagi laluan antarabangsa serta dari Kuala Namu, Batam dan Phnom Penh bagi laluan ASEAN.
Manakala bagi tahun 2024 dan seterusnya Senai Airport merancang untuk memulakan penerbangan secara terus daripada Jeju, Shenzhen, Taipei, Trichy, Hongkong , Tushkent dan Hualien bagi segmen antarabangsa bukan ASEAN adalah daripada Jogjakarta, Balik Papan, Siem Reap, Pekan baru dan Bandung, Hat Yai dan juga Chiang Mai Thailand, terima kasih.
Ke Korea ada Yang Berhormat?
Korea tahun, untuk makluman Datuk Speaker, flight ke Guangzhou China akan dimulakan pada akhir bulan ini.
Terima YB EXCO. Adalah penting bagi kita memulihkan laluan penerbangan supaya kita dapat menarik lebih pelancong ke negeri Johor. Dan adalah penting juga kalau Speaker dah tanya Korea, bawa lah Speaker pergi Korea.
Soalan tambahan saya, adalah penting untuk menambah laluan penerbangan baharu untuk menarik pelancong dari luar negara apabila meningkatkan laluan ini, fasiliti dan infrastruktur bagi airport adalah penting juga. So, sama ada kita ada fasiliti menaik taraf fasiliti atau infrastruktur supaya kapasiti dapat menampung pelancong yang lebih ramai. Sekian, terima kasih.
YB Johor Jaya. Kalau nanti flight ke Busan, Korea, dia buka kalau dibenarkan mungkin boleh bagi Datuk Speaker pula ke Korea.
Sebab sekarang ini Yang Berhormat, orang Korea dah ramai yang boleh cakap Melayu kalau kita ke sana.
Ya..
Itu yang saya suka ke sana tu.
Betul tu, Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Johor Jaya atas pertanyaan untuk kemudahan di Senai Airport. Pada tahun 2023, Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. telah memeteraikan perjanjian konsesi dengan pihak kerajaan Malaysia yang telah memberi keizinan secara eksklusif untuk mengurus, mengendali, menyenggara dan membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai bagi tempoh 50 tahun sehingga 31 Oktober 2053. Dan daripada agreement tersebut, Senai Airport telah pada tahun 2007 telah mengubahsuai terminal penumpang bagi meningkatkan kapasiti pada 1 juta. Dan pada 2021 hingga 2022 pula, ia telah meningkatkan kapasiti daripada 4 juta kepada 5 juta. Dan dalam proses peningkatan kapasiti tersebut kali ini, ia berada dalam fasa terakhir iaitu menyiapkan balai berlepas, departure hall lounge yang sedia ada bagi menambah jumlah pintu pelepasan dari 4 pintu ke 8 pintu. Pembangunan yang hampir selesai ini bakal dibuka kepada orang ramai tahun ini dan dijangka akan boleh menampung sehingga 5 million passenger per annum menjelang tahun 2025.
Selain itu, Senai Airport juga akan membina Kompleks Kargo baharu yang berkapasiti 80,000 tan setahun untuk menggalakkan pertumbuhan kargo di selatan tanah air.
Untuk maklumat sidang Dewan juga, Senai Airport adalah merupakan satu-satunya lapangan terbang di Malaysia yang dianugerahkan Penarafan 5 Bintang Cemerlang sempena Anugerah Penarafan Bintang Sasaran Penting oleh Jabatan Perdana Menteri
dalam meningkatkan kawalan perlindungan dan penyenggaraan aset sumber infrastruktur kritikal sasaran penting dalam melindungi maklumat serta rekod keselamatan negara. Terima kasih.
Saya jemput Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Senai sejak tahun 2018, sudah beberapa kali Mengkibol mencadangkan kemungkinan melaksanakan visa on arrival yang saya rasa sangat penting untuk menarik pelancong. Contohnya di Thailand selepas pelaksanaan visa on arrival, mereka mencatat sebanyak 11 million pelancong dari China. Pada tahun yang sama 2019, Malaysia cuma menarik 3 milion. Dan juga visa atau pun transit visa, secara automatik.
Ini sangat penting dan dibuktikan di Dublin dan London. Mereka yang dapat Visa UK, boleh pergi ke Ireland secara automatik. Jadi untuk menarik pelancong atau pun pelaburan, ini sangat penting sebab ramai yang pergi ke Singapore. Sekiranya Senai dapat memberikan VOA atau pun transit visa, saya percaya ini satu langkah yang dapat menarik para pelancong dan juga mereka yang ingin melabur di negeri Johor. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Memang saya setuju visa on arrival ia akan meningkatkan lagi kemudahan untuk pelancong datang ke melalui pintu gate Senai Airport. Apa pun kita, bukan keputusan dibuat dari segi peringkat negeri, tapi apa pun kita dari segi peringkat negeri akan dari semasa ke semasa memohon untuk meningkatkan lagi kapasiti-kapasiti dari segi visa on arrival. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 15. Terima kasih.
Klinik Kesihatan Gelang Patah telah menghadapi kesesakan. Kualiti perkhidmatannya perlu di pertingkat dan dinaik taraf seiring dengan penambahan penduduknya. Sekiranya terdapat lokasi sesuai dan cukup keluasannya, bolehkah sebuah pusat kesihatan lebih besar dibina di Gelang Patah bagi menggantikan bangunan klinik sedia ada?
Terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih YB Kota Iskandar. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor dengan seisi Dewan sekalian.
Menyedari keadaan klinik yang lama dan ruang yang terhad dan sempit, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru ada mengesyorkan permohonan menaik taraf klinik ini kepada pembinaan baharu klinik kesihatan jenis 2 bagi menyelesaikan isu ruang dan kesesakan di klinik tersebut di samping pertambahan perkhidmatan seperti perkhidmatan X-ray kepada penduduk setempat. Bagi langkah penyelesaian, pihak Pejabat Kesihatan telah mengenal pasti tapak tanah baharu yang sesuai untuk dicadangkan pembinaan klinik kesihatan baharu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Gelang Patah yang lama.
Permohonan pengambilan balik tanah cadangan tapak klinik kesihatan jenis 2 baharu telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk pertimbangan dan kelulusan pihak kerajaan persekutuan.
Maklum balas Unit pembangunan JKNJ pula, JKNJ mengambil maklum berkaitan kesesakan perkhidmatan di Klinik Kesihatan Gelang Patah pada ketika ini. Sehubungan itu, jabatan ini telah mengenal pasti tapak bersesuaian bagi pembinaan baharu Klinik Kesihatan
Iskandar Puteri bagi menggantikan perkhidmatan kesihatan KK Gelang Patah. Tanah tersebut adalah di atas tapak PTD 204040 dan PTD 204041 Mukim Pulai Daerah Johor Bahru dengan keseluruhan keluasan adalah 7 ekar.
Status terkini permohonan hak milik tapak adalah dalam tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya untuk proses pengambilan balik tanah (PBT). Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO. Kerajaan Johor adalah kerajaan yang prihatin pada isu kesihatan rakyat.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas penjelasan yang diberikan oleh YB EXCO. Apa yang saya nak soalkan di sini berapa lamakah lagi dan saya tidak berapa jelas PTD yang dinyatakan sebentar tadi, di mana kawasan dia kerana KK Gelang Patah ini, ia menampung 15 kampung dan 7 taman besar. Yang kita daif sekarang ini. Soalan saya di mana kawasan mana atau pun bila, benda ini akan dilakukan? Terima kasih.
Terima kasih soalan tambahan daripada Iskandar Puteri. Dan tanah tersebut adalah di Mukim Pulai Daerah Johor Bahru. Mungkin kalau nak lokasi tempatnya nanti mungkin kita boleh adakan lawatan bersama dengan YB Iskandar Puteri. Dan kami sedang menunggu keputusan daripada KKM supaya kelulusan, proses pengambilan balik tanah tersebut dapat dipercepatkan. Dan kalau tidak dapat hak milik tanah tersebut dan juga pihak KKM tidak akan meluluskan peruntukan. So, itu sahaja sekian maklum. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan sehingga jam 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Penggaram. 15 minit.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker. Penggaram Merafak Sembah Menjunjung Kasih atas keberangkatan dan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Daulat Tuanku.
Penggaram ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita mengetahui negeri kita telah dilanda musibah banjir yang teruk khususnya di beberapa kawasan seperti di Chaah dan Batu Pahat. Di dalam isu banjir ini, Penggaram ingin menyentuh beberapa perkara berkaitan banjir iaitu pengurusan bencana dan keterlibatan di dalam pengurusan bencana serta rancangan tebatan banjir.
Terlebih dahulu, Penggaram berasa bersyukur apabila cadangan Yang Berhormat Perling pada sidang Dewan yang lalu untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani
impak perubahan iklim telah diterima. Penggaram memuji perubahan yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim. Di mana ia melibatkan seluruh Ahli Dewan ini tanpa mengira dari pihak kerajaan mahu pun pengimbang. Dan merasakan perubahan seperti ini juga perlu direalisasikan di peringkat daerah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walau pun keadaan di sekitar bandar Batu Pahat hanya seperti hujan biasa dan tidak begitu lebat seperti sebelum ini, namun Penggaram terkejut apabila Batu Pahat dilanda banjir sehingga menyebabkan kerugian harta benda. Penggaram tidak boleh terima alasan taburan hujan yang lebat telah menyebabkan Batu Pahat dilanda banjir. Sedangkan realitinya cuaca di bandar Batu Pahat tidak seperti diperkatakan. Guruh tidak didengari, cuaca pun baik tetapi kami dikejutkan oleh panggilan telefon dari orang ramai yang menyatakan kawasan perumahan mereka dibanjiri air. Walaupun cuaca tidak hujan, beberapa kawasan terus dinaiki air dan situasi ini terus teruk berlaku dalam beberapa hari hingga memaksa beberapa pusat pemindahan sementara dibuka bagi memindahkan mangsa banjir.
Perkara ini memberi kepelikan bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada Wakil-Wakil Rakyat juga. Kami ditanya oleh rakyat. Tapi tanpa sebarang maklumat yang benar dan tepat, bagaimana kami boleh menyampaikan kepada rakyat?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ingin bertanya adakah pelepasan air dari Empangan Bekok sebagai salah satu punca utama berlakunya banjir di beberapa kawasan khasnya di sekitar Bukit Pasir, Batu Pahat. Saya faham, JPS perlu memastikan paras air empangan berada di tahap yang selamat bagi mengelakkan bencana yang lebih serius berlaku. Adakah pihak JPS mempunyai sebarang garis panduan di dalam melepaskan air dari empangan? Apakah prosedur yang perlu dijalani oleh JPS sebelum pelepasan air empangan dilakukan? Dan apakah peranan BAKAJ di dalam isu melepaskan air dari empangan? Adakah terdapat jadual berkala untuk pelepasan air di empangan dan adakah garis panduan dan jadual tersebut ini mengambil kira laporan kaji cuaca dari Jabatan Meteorologi?
Bukan itu sahaja, jika terdapat pelepasan air dari empangan dengan jumlah kapasiti yang tinggi dan dijangka boleh menyebabkan banjir. Adakah perkara ini dimaklumkan kepada agensi-agensi yang terlibat seperti pejabat daerah agar boleh memberi amaran kepada rakyat untuk bersiap sedia. Rakyat di luar sana sentiasa bertanya kepada Wakil Rakyat, malangnya Wakil Rakyat sendiri khususnya dari pihak pengimbang seperti Penggaram seolah-olah diketepikan untuk mendapatkan info-info yang tepat. Penggaram yakin penyampaian maklumat yang tepat dan berkesan kepada orang ramai amat penting dan pasti dapat banyak membantu rakyat terutamanya di dalam mengurangkan risiko dan kerugian harta benda. Ia juga secara tidak langsung dapat membantu menjaga nama dan imej kerajaan dengan lebih berkesan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang dilihat setelah beberapa hari, Segamat dilanda banjir. Seharusnya kerajaan mengetahui lebih awal bahawa Empangan Bekok telah mencapai tahap yang membimbangkan dan mampu memberi kesan banjir kepada daerah Batu Pahat. Malangnya tiada sebarang amaran banjir yang diberikan oleh kerajaan kepada penduduk yang di kawasan-kawasan yang berkemungkinan menghadapi risiko banjir. Sehinggakan ada penduduk yang ingin meninggalkan rumah kediaman mereka, kerana disangka, disangkakan ia adalah banjir kilat dan keadaan akan kembali pulih dalam waktu yang singkat. Penggaram merasa amat kecewa sebagai seorang Wakil Rakyat yang mewakili DUN yang mempunyai jumlah penduduk paling padat di daerah Batu Pahat, Penggaram seolah-olah diketepikan hak untuk mendapatkan sebarang informasi-informasi penting dan tepat. Penggaram memohon agar kerajaan sentiasa melibatkan ADUN-ADUN walaupun dari pengimbang ke dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana di peringkat daerah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam saya mengikuti jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada Parit Raja berkaitan bantuan tunai yang disalurkan oleh kerajaan negeri sebanyak RM300.00 kepada setiap isi rumah, di mana jumlahnya yang telah disalurkan adalah sebanyak RM3.7 juta. Di sini, Penggaram ingin mengetahui, adakah bantuan tunai ini hanya diberikan kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS sahaja ataupun juga yang tidak berpindah ke PPS? Sebelum ini Penggaram ada melihat siaran langsung daripada dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Yang Berhormat EXCO dari Yong Peng menyatakan bahawa terdapat juga bantuan tunai daripada kerajaan negeri untuk mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS. Malangnya, pengumuman tersebut tidak berserta dengan penerangan berkaitan mekanisme permohonan yang lebih lanjut sehingga menyebabkan rakyat ke sana sini untuk mendapat borang yang untuk memohon bantuan tunai, tunai ini.
Semalam, pada lewat petang saya masih diberitakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, yang menyatakan memang tiada bantuan wang tunai kepada, kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS. Dan setakat ini, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah masih mengguna pakai senarai JKM yang menduduki di PPS. Jadi, Penggaram berasa pelik, bila maklumat yang diberi oleh Pegawai Daerah Batu Pahat berlainan dengan apa yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan rakan-rakan di dalam sidang yang mulia ini. Di dalam Dewan yang mulia ini, Penggaram memerlukan satu pengesahan dari Yang Amat Berhormat Menteri Besar, supaya seluruh rakyat Johor tahu duduk benar perkara ini. Ada atau tidak bantuan tunai kepada mangsa banjir sama ada mereka duduk di PPS ke atau tidak duduk di PPS?
Penggaram berharap jika ada bantuan tunai untuk semua mangsa banjir, tak kira-kira sama ada berpindah atau tidak harap kerajaan permudahkan urusan mereka agar tidak ada sesiapa yang tercicir di dalam mendapatkan bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Apa yang difahami, mereka yang telah berpindah masuk ke PPS tidak perlu mengisi Borang Bantuan Wang Ihsan iaitu BWI. Jadi, untuk mangsa yang tidak duduk di PPS, adakah mereka perlu mengisi dua jenis borang iaitu untuk bantuan dari kerajaan negeri dan juga BWI. Penggaram juga berharap agar satu taklimat diberikan kepada Ahli-Ahli Dewan dan agensi-agensi berkaitan untuk menyelaraskan mekanisme permohonan bantuan. Semoga perkara ini dapat memberi manfaat dan meringankan beban yang telah sedia dihadapi oleh rakyat. Penggaram juga mencadangkan agar kerajaan menggerakkan kakitangan mahupun sukarelawan untuk membantu pendaftaran permohonan, bukalah kaunter-kaunter di kawasan yang terlibat dengan banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram bukanlah mencari salah mana-mana satu pihak, tetapi hanya ingin mendapatkan maklumat yang lebih tepat supaya boleh disampaikan kepada rakyat, agar rakyat tidak diperlakukan seperti bola hanya untuk mendapatkan bantuan. Seperti yang dimaklumkan oleh Sri Medan semalam, kita Wakil-Wakil Rakyat tidak mencampuri urusan pendaftaran dan permohonan bantuan ini, cuma kita sebagai pemudah cara membantu rakyat untuk mendaftar. Sebab itu, pada awal tadi disebut, Penggaram berasa kecewa apabila Penggaram seperti dikecualikan khususnya untuk mendapatkan informasi-informasi yang tepat seperti bantuan dari kerajaan negeri. Jika info mengenai tapak pengumpulan sisa banjir pun hendak disembunyikan dari pengetahuan, sudah pasti Penggaram berasakan ada yang tidak kena dengan pengurusan bencana pada kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker...
Yang Berhormat, tinggal 3 minit lagi.
Ok. Selain daripada penduduk yang turut menjadi mangsa bencana banjir, adalah peniaga-peniaga kecil, pekilang-pekilang, petani-petani, apa bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada mereka, agar mereka dapat
merancak kembali aktiviti ekonomi di tempatan. Sama seperti yang diucapkan oleh YB Seri Medan, kita perlu membantu golongan-golongan ini, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan seperti mengecuali cukai pintu atau apa-apa geran khas yang difikir sesuai untuk membantu golongan tersebut. Diharap Rancangan Tebatan Banjir, menurut Yang Amat Berhormat Menteri Besar, permohonan-permohonan di bandar Batu Pahat adalah berkos sebanyak RM175 juta.
Penggaram ingin tahu kos ini hanya untuk mengatasi masalah fenomena air pasang laut yang semakin meningkat ataupun mengambil kira sekali sebagai rancangan berhadapan dengan perubahan iklim? Krisis iklim menjadikan paras air laut meningkat 1cm pada setiap tahun dan ramalan menjangkakan bandar Batu Pahat akan tenggelam pada tahun 2050. Jika, jangkaan RTB adalah untuk 50 tahun ia hanya tinggal 27 sahaja dari sekarang. Penggaram juga mempunyai kerisauan mengenai perkara ini. Ini disebabkan itu belum masuk kiraan fenomena air pasang yang bertembung dengan hujan lebat dan pelepasan air dari empangan. Penggaram ingin tahu, selain daripada RTB, apakah rancangan jangkaan panjang kerajaan dan juga apakah, adakah kerajaan akan mencari tempat yang sesuai untuk membina kolam takungan air?
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Penggaram mengakhiri ucapan pada kali ini, Penggaram ingin menuntut hutang jawapan bertulis yang telah dijanji oleh Yang Berhormat EXCO Kerja Raya pada sidang yang lepas. Akhir kata, Penggaram merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di dalam pengurusan bencana, barisan hadapan penguatkuasa, para sukarelawan, para NGO yang telah sama-sama berganding bahu di dalam menghadapi bencana pada kali ini. Kita berdoa, agar Johor kekal makmur, bermuafakat dan berharap agar projek tebatan banjir yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat segera dilaksanakan agar rakyat Johor tidak lagi merasai derita banjir. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran para pemerhati 34 orang daripada kawasan DUN Penawar (Dewan bertepuk), dan 4 orang daripada kawasan DUN Maharani. Dijemput Yang Berhormat Panti.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berangkat ke Dewan yang mulia ini. Dan seterusnya merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tuanku. Terima kasih juga kepada pelbagai pihak sama ada agensi negeri dan persekutuan, sukarelawan, individu, dalam kita mendepani banjir yang melanda negeri Johor amnya dan kawasan Panti khususnya. Banjir kali ini mungkin lebih buruk melanda Panti berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.
Dan, saya juga ingin ambil kesempatan ini, Panti ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar atas pengumuman yang akan membentangkan Usul Rundingan Penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana. Juga atas segala bantuan serta langkah kerajaan negeri khususnya untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti sekali lagi merafak sembah, menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Mulia Tuanku khususnya berkaitan perihal infrastruktur negeri Johor ini. Sesungguhnya, pasca banjir pasti akan meninggalkan pelbagai isu seperti jalan yang rosak, terputus, saliran terhakis, tanah runtuh berdekatan kawasan penduduk dan lain-lain lagi. Peruntukan khas yang telah diumumkan perlu disegerakan dan Panti menyeru agar segala birokrasi dapat diminimumkan.
Begitu juga dengan semua infrastruktur di bawah seliaan kerajaan negeri yang perlu dilihat sebaiknya. Mungkin, infrastruktur-infrastruktur ini sama ada di bawah negeri ataupun persekutuan, tidak terjejas secara langsung oleh bencana banjir tetapi perlu diperbaiki dan diselenggarakan sebagai contoh banyak PPS, kita tahu menggunakan sekolah dan dewan tetapi semasa berlakunya bencana baru-baru ini banyak maklum balas yang diterima mengatakan banyak fasiliti yang tidak berada pada tahap sepatutnya, tandas yang rosak, kipas tidak berfungsi dan sebagainya.
Seperkara lagi yang berkaitan banjir ini, Panti ingin menyeru agar negeri melihat juga kerugian yang ditanggung oleh pekebun kecil, pengusaha ternakan sama ada ruminan atau ternakan lain seperti ikan dan sebagainya. Negeri juga perlu pastikan, jika adanya bantuan, jika ianya datang dari pusat bagi mereka pekebun-pekebun dan penternak ini. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan semasa soalan jawab lisan tadi, yang kita dimaklumkan ada bantuan seperti yang dimaklumkan. Dan yang Panti ingin tekankan di sini, adalah perkara ini perlulah di umum seluasnya bagaimana untuk bantu mereka, agar mereka tahu untuk mereka bina usaha yang tergendala akibat bencana banjir ini seperti soalan sahabat saya dari Parit Raja tadi kalau boleh dipermudahkanlah urusan mereka untuk memohon bantuan-bantuan ini.
Seterusnya, perihal banjir ini, saya bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh Seri Medan, macam mana kita nak bantu lagi, negeri atau persekutuan, khususnya dari kerajaan negeri terlebih dahulu saya ucapkan juga terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Pendidikan, semasa banjir yang lepas ada isu yang dibangkitkan oleh mangsa tentang keperluan untuk ganti buku-buku khususnya yang musnah akibat banjir, kos dia tinggi, kalau anak lebih seorang dengan kerugian rumah lagi, ianya sangat membebankan mangsa banjir tersebut.
Namun, EXCO ada bercakap, ada beritahu saya, yang beliau akan cuba untuk salurkan peruntukan khas melalui PIBG untuk setiap sekolah ini bagi melihat keperluan membantu pelajar-pelajar mangsa banjir ini. Terima kasih saya ucapkan dan saya harap, Panti harap ianya dapat disegerakan dan pastikan ibu bapa yang terkesan ini faham, tahu dan dapat memohon bagi anak-anak mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pendidikan merupakan perkara yang amat penting kepada negeri Johor. Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar mutu pendidikan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi tidak boleh dipandang mudah. Panti faham akan urusan pendidikan ini kebanyakan dia adalah tanggungjawab persekutuan namun sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, negeri perlu ada langkah sendiri untuk pastikan mutu pendidikan khususnya di negeri Johor sentiasa pada tahap sepatutnya. Di kesempatan ini Panti ingin mencadangkan agar kerajaan negeri sendiri mewujudkan satu program khas bagi menghubungkan industri dan sekolah-sekolah serta universiti ini, jangan tunggu persekutuan untuk lalukan perkara ini. Dengan adanya program seperti ini, sekolah atau universiti akan lebih peka kepada kehendak dan keperluan industri dan bergerak menjadikan pekerja yang sesuai dengan keperluan industri itu sendiri. Bagi pihak industri juga ini akan memastikan mereka faham akan komitmen negeri yang bukan sahaja bersedia memberi pelbagai bantuan bagi mereka terus melabur di negeri Johor, malahan memandang lebih jauh untuk terus menyediakan tenaga kerja yang sesuai, lebih baik dan sangat mahir dalam memacu industri yang mereka pilih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Panti ingin mengambil peluang dalam perbahasan kali ini untuk menyuarakan beberapa isu setempat bagi pertimbangan dan tindakan kerajaan negeri.
Yang pertama, Panti sekali lagi merasa keperluan untuk isu ini dibangkitkan, ianya adalah tentang sistem pembentungan dan logi rawatan kumbahan di Bandar Tenggara. Panti berpendapat sistem pembentungan ini perlu dinaik taraf bagi memastikan isu ini tidak berulang lagi. Campur tangan kerajaan diperingkat negeri amatlah Panti harapkan. Kawasan Bandar Tenggara melibatkan lima taman perumahan yang agak luas, saban minggu pasti berlaku insiden yang tidak diingini hingga berlakunya pencemaran bau dan sebagainya. Terlebih dahulu Panti mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Majlis Daerah Kota Tinggi dan pihak Kejora yang sentiasa membantu untuk melalukan kerja-kerja pembersihan secara berkala. Seperkara lagi, berkaitan kawasan Bandar Tenggara ini ialah berkaitan pencemaran akibat daripada tiada tanggungjawab segelintir pengusaha kilang di kawasan tersebut. Kilang yang mengeluarkan racun ini khususnya banyak menimbulkan rasa tidak senang penduduk yang terpaksa berdepan dengan beberapa isu seperti pencemaran bau dan sebagainya. Saya yakin pihak Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan tahu akan isu ini, tetapi hasil tinjauan saya bersama mereka tidak banyak yang dapat kita lakukan. Ini kerana, mengikut pemahaman saya, bagi penceramaran bau dan pencemaran bunyi kurang dan sukar disabitkan di bawah mana-mana akta bagi memastikan pengusaha ini dapat diambil tindakan. Biasanya, iainya hanya akan di bawah klausa kacau ganggu ataupun tindakan menarik lesen di bawah Majlis sahaja. Pihak kerajaan negeri melalui EXCO perlu peka dan memohon untuk dibawa perkara ini ke peringkat persekutuan bagi kita sama-sama untuk cuba menyelesaikan isu-isu seperti ini.
Yang kedua adalah tengang industri pelacongan di Panti. Panti sebenarnya pernah membangkitkan perkara ini dan seperti yang sedia maklum, Panti tidak ketandusan tempat dan kawasan menarik untuk dilawati. Antaranya ialah Gunung Muntahak, Gunung Panti, Air Terjun Kota Tinggi, Air Terjun Kota Tinggi ini pun lama tidak dibuka dan kita faham sebagai pemimpin mungkin kita faham atas sebab-sebab dan alasan yang diberi, tetapi rakyat di bawah memerlukan penjelasan yang lebih baik dan, Panti harap ianya dapat dilakukan segera. Selain daripada itu, kawasan-kawasan menarik adalah seperti homestay Kampung Temenin, Raf Adventure Village dan sedang dalam pembinaan adalah Santuari Gajah, cuma Santuari Gajah ini seperti yang kita maklum sepatutnya agenda utamanya ialah untuk menyelesaikan masalah gajah dengan penduduk dan kedua barulah sebagai pusat tarikan pelancong. Panti ingin mencadangkan sekali lagi untuk kawasan pelancongan ini dapat di beri perhatian oleh kerajaan negeri. Pertama dari segi pengurusan dan penyelenggaraannya, peruntukan yang mencukupi perlu disediakan agar segala kemudahan awam dapat kita pastikan ada dan berfungsi dengan baik. Pengurusan perlu dipastikan yang betul-betul mampu bukan pengurusan sebelum in yang gagal, diambil semula untuk mengurus tempat-tempat ini. Kedua adalah aspek promosi yang Panti kira sangat lemah. Kerjasama antara pusat pelancongan ini dengan agensi negeri, dengan kawasan pelancongan di kawasan yang lain pula perlu diadakan agar ianya dapat dipakejkan. Program juga perlu sentiasa dipantau di peringkat negeri agar tempat-tempat ini sentiasa ada dalam kalendar pelancongan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan Panti harap segala perkara yang dibangkitkan oleh Panti dan rakan-rakan mendapat perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan negeri. Dikesempatan ini, Panti juga ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam khususnya warga Johor, semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya buat kita semua. Sekian. Wabillahitaufiq wahidayah wassalamualaikum warahmatullahiawabarakatuh. Panti mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Panti. Dijemput Yang Berhormat Tenang.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, di atas peluang yang diberikan kepada Tenang untuk turut mengambil
bahagian dalam sesi perbahasan sidang Dewan pada kali ini. Tenang merafak sembah dan menjunjung tinggi, setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskadar, Sultan Yang DiPertua Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan persidangan Dewan yang mulia pada kali ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Tenang ingin menzahirkan rasa simpati kepada lebih 48,000 mangsa banjir daripada lebih 26,000 keluarga dari negeri ini yang diuji baru-baru ini. Di mana ini termasuk juga ADUN Tenang salah seorang mangsa apabila pertama kali rumah dinaiki air separas pinggang. Di DUN Tenang sahaja sebanyak 12 PPS telah dibuka dengan 743 ketua isi rumah melibatkan 2,379 mangsa. Penghargaan juga Tenang ingin titipkan kepada semua pihak terdiri daripada agensi kerajaan, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, pasukan keselamatan, pertubuhan bukan kerajaan serta orang perseorangan yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa dalam kejadian banjir yang di sifatkan antara yang terburuk di negeri ini. Di sebalik bencana banjir yang dihadirkan oleh Allah SWT sebagai ujian kepada hamba-Nya kejadian banjir ini secara tersiratnya membuktikan Bangsa Johor mampu berganding bahu, saling bantu-membantu diantara satu sama lain sewaktu diuji musibah. Syabas Bangsa Johor.
Banjir merupakan satu fenomena alam yang tidak dapat dielakkan, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya banjir, namun salah satu faktor yang menjadi penyebabnya adalah sikap manusia sendiri yang begitu rakus memusnahkan hutan termasuk di kawasan hulu sungai. Menyentuh mengenai penerokaan rizab hutan simpan secara haram bagi tujuan perkampungan baharu Orang Asli serta tanaman getah dan kelapa sawit seperti yang dititah Duli Tuanku Sultan semasa merasmikan penggal sidang Dewan ini tempoh hari. Kejadian seupama ini turut berlaku di kawasan DUN Tenang, yang melibatkan kemusnahan rizab hutan simpan sekitar Taman Eko Rimba Taka Melor, sempadan FELCRA Peta Temalek dan Kampung Orang Asli Segamat Kecil yang melibatkan keluasan hampir ribuan ekar. Perbuatan mereka ini bukan sahaja mencabar undang-undang dan memusnahkan eko-sistem alam semula jadi malah, merugikan kerajaan negeri apabila kayu balak yang sepatutnya boleh dijadikan hasil kerajaan negeri dibakar begitu sahaja ketika kerja-kerja memugar hutan secara haram dilakukan. Walaupun kejadian tersebut berlaku lebih sepuluh tahun yang lalu. Tenang amat berharap satu tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berwajib bukan sekadar mengheret penceroboh kemuka pengadilan, malah rampasan tanah yang sudan ditanam dengan tanaman getah mahu pun kelapa sawit perlu disegerakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sehebat mana pun kita sebagai manusia sememangnya kita tidak berupaya untuk menghalang hukum alam seperti banjir yang berlaku baru-baru ini. Namun kita boleh berusaha untuk mengurangkan impak daripada kejadian tersebut dengan pelbagai kaedah yang bersesuaian mengikut keperluan semasa. Sehubungan itu, Tenang ingin mencadangkan agar dilaksanakan kerja-kerja mendalam dan membina benteng di jajaran Sungai Tenang sepanjang kira-kira 500 meter di kawasan pekan Air Panas Labis bagi mengurangkan serta melambatkan limpahan air sungai ke kawasan penempatan penduduk setiap kali berlaku hujan lebat, sekaligus mampu mengurangkan kesan kemusnahan akibat banjir kepada penduduk setempat.
Oleh yang demikian, Tenang juga berharap kerajaan memberi perhatian terhadap cadangan ini dan menyalurkan peruntukan melalui agensi terbabit seperti Jabatan Parit dan Saliran bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja berkaitan demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan. Dalam masa yang sama juga Tenang juga ingin mencadangkan agar Tenaga Nasional Berhad daerah Segamat, menempatkan satu unit tindakan pantas secara on call di pejabat cawangan TNB Labis bagi menangani sebarang masalah berkaitan bekalan elektrik di kawasan Labis, Chaah dan Bekok yang memerlukan tindakan segera seperti dalam kejadian kebakaran dan banjir baru-baru ini. Maklum balas daripada penduduk setempat unit tersebut ketika ini ditempatkan di kawasan Segamat dan risiko kelewatan untuk sampai
ke lokasi bencana bagi tujuan kerja-kerja memutuskan bekalan elektrik jika berlaku musibah dan kebakaran mahu pun banjir di sekitar Labis, Chaah dan Bekok. Diharapkan isu ini diberi perhatian serius oleh pihak TNB bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta penduduk terjamin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain terpaksa berdepan cabaran ekonomi yang menyebabkan peningkatan kos hidup. Musibah banjir yang berlaku ternyata memberi satu lagi tekanan ekonomi yang bukan sedikit kepada golongan petani. Apabila projek tanaman mahu pun ternakan yang diusahakan musnah ketika dilanda bencana. Situasi tersebut menyukarkan mereka yang rata-ratanya adalah golongan B40 untuk bangkit semula tanpa sebarang bantuan daripada pihak berwajib, khususnya kerajaan. Tidak dinafikan nasib golongan tersebut diberi perhatian oleh kerajaan yang menyediakan bantuan melalui Jabatan Pertanian seperti yang diumumkan baru-baru ini. Namun, syarat yang memerlukan petani terjejas membuktikan projek yang diusahakan terjejas banjir melalui rakaman gambar projek yang diusahakan dari sudut sama ketikan sebelum, semasa dan selepas ditenggelami banjir agak tidak munasabah dan menyukarkan mereka. Secara logiknya agak sukar petani untuk merakam gambar projek yang diusahakan ketika kejadian banjir kerana ketika itu sudah pasti terdapat pelbagai halangan dan kekangan seperti kawasan projek yang tidak boleh dimasuki akibat ditenggelami air dan sangat berbahaya. Saya berpandangan, Tenang berpandangan pengesahan penghulu dan ketua kampung sudah memadai dengan bukti projek yang diusahakan mangsa terjejas banjir dan layak memohon bantuan yang disediakan.
Selain itu, pegawai pertanian juga boleh melawat kawasan terlibat bagi tujuan pengesahan bukannya membahayakan petani semata-mata untuk merakam gambar kebun yang dinaiki air ketika banjir. Tenang ingin melahirkan rasa hairan dengan tindakan Jabatan Pertanian yang boleh diragui keikhlasannya untuk membantu menaikkan ekonomi petani apabila terdapat progam bantuan yang diwujudkan boleh disifatkan bagai melepas batuk ditangga. Ini merujuk kepada projek peningkatan tahap sara diri, SSR, sayur terpilih cili dan halia yang dibuka permohonannya kepada petani pada awal Februari 2023 yang lalu. Antara lain projek ini menawarkan bantuan sehingga RM50,000 per hektar dalam bentuk pembersihan tapak, jentera serta peralatan input pertanian lain. Namun, apa yang menjadi tanda tanya adalah mengenai tempoh permohonan hanya dibuka dalam tempoh 24 jam sahaja. Di mana pengumumannya di muat naik di laman muka buku Jabatan Pertanian Negeri Johor pada pukul 8.27 pagi hari Sabtu,11 Februari 2023 dan permohonan ditutup pada hari Ahad, 12 Februari 2023 iaitu keesokan harinya. Tenang perlukan penjelasan. Selain tempoh hanya 24 jam yang diberikan tiada sebarang borang yang keluarkan oleh Pejabat Pertanian di daerah bagi tujuan permohonan. Tenang berharap, Jabatan Pertanian akan lebih prihatin dalam meletakkan syarat permohonan yang lebih mudah dan munasabah untuk dipenuhi petani bagi memohon sebarang bantuan yang disediakan bukan menyusahkan kerana golongan tersebut sebenarnya amat memerlukan bantuan, bukan sekadar peralatan serta input pertanian malah khidmat nasihat bagi menjayakan projek yang diusahakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang sekali lagi ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini berhubung Kompleks Institusi Labis dalam Tenang yang terbiar sejak sekian lama dan ini amat merugikan sekiranya tiada sebarang usaha dimanfaatkan sekurang-kurangnya kepada penduduk setempat. Ini kali kedua perkara ini dibawakan dalam sidang Dewan yang mulia ini. Suka Tenang mencadangkan agar digerakkan satu usaha membaik pulih unit-unit kediaman tersebut dan diberi peluang untuk penduduk di beberapa kampung berhampiran terutama mereka yang sering terjejas setiap kali berlaku banjir menduduki penempatan tersebut dengan kadar bayaran minimum. Ketika ini Kompleks tersebut adalah di bawah kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, kerjasama antara Kementerian dan Jabatan Kerajaan dalam usaha menangani isu tersebut boleh dilakukan di mana pengurusan Kompleks tersebut diberikan kepada Kementerian berkaitan antaranya
Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi tujuan membaik pulih dan manfaatnya kepada masyarakat di dalam DUN Tenang.
Akhir kata, diharapkan kerajaan terbuka hati seluas-luasnya menerima segala cadangan yang dibawa ini agar ianya mampu mensejahterakan rakyat secara menyeluruh sekali gus rakyat akan kekal percaya, kerajaan sedia ada mampu membela nasib mereka. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Tenang. Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih atas peluang yang diberi untuk berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan dan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Patik turut merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan sempena Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 23 Mac.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Johor Jaya menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada mangsa-mangsa yang terkesan dalam bencana banjir baharu-baharu ini. Sehingga hari ini, masih terdapat lebih kurang 20,000 orang mangsa yang masih menduduk di PPS. Bagi mereka yang sudah keluar dari PPS pula, kerja-kerja pembersihan dan kiraan kos kerugian adalah amat menderita. Johor Jaya sempat membantu membersihkan beberapa tempat banjir. Dengan ini, Johor Jaya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, anggota dan sukarelawan mahupun dari Johor atau negeri yang lain yang rela menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir kali ini. Inilah semangat rakyat Malaysia.
Johor Jaya menyambut baik keputusan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana dalam sidang Dewan kali ini. Supaya kita dapat membincang impak perubahan iklim dan juga risiko yang akan dihadapi dan bagaimana mencegah bencana dengan tindakan yang lebih cergas dan sempurna. Ini adalah penting kerana seperti apa yang dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, RTB iaitu Rancangan Tebatan Banjir yang sedang atau akan dilaksanakan adalah berjangka menyelesaikan masalah banjir bagi tempoh 50 tahun. Kalau kita lihat sejarah banjir negeri Johor, sejak tahun 1986 iaitu tahun saya lahir dan setiap 20 tahun banjir berlaku di negeri Johor. Dan baru-baru ini iaitu bulan lepas banjir teruk berlaku. Dan, Johor Jaya amat risau dengan perubahan iklim dan tidak menentu RTB ini tidak dapat mencegah banjir selama 50 tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan taburan hujan yang luar biasa kali ini iaitu 2 kali ganda daripada purata taburan hujan bulanan, pastinya empangan terpaksa lepaskan air. Johor Jaya ingin bertanya, apakah prosedur apabila empangan ingin lepaskan air? Adakah pihak yang bertanggungjawab memberi amaran yang lebih awal kepada penduduk tempatan? Ini adalah penting di mana kita lihat dari social media mahupun baca dalam berita, penduduk tidak sempat untuk membuat persediaan awal bagi banjir. Saya baca satu berita, seorang bayi yang baru lahir 2 hari sahaja oleh sebab air naik dengan laju dan ibunya tidak sempat untuk menyediakan susu tepung untuk bayi tersebut. Ibu dan bayi tersebut terpaksa sangkut dalam hujan selama beberapa jam. Untuk menunggu sukarelawan datang ke rumah menyelamatkan mereka. Ini mungkin hanya salah satu insiden yang berlaku. Mestilah banyak lagi cerita yang menyedihkan. Adakah amaran diberi kepada penduduk supaya warga emas, OKU atau pesakit terlantar dapat dipindahkan ke PPS dulu?
Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila musim hujan, air hujan terlampau banyak, kita risau, risau dengan banjir kilat. Apabila musim kemarau, kita risau juga. Risau tiada bekalan air yang mencukupi. Penduduk Pasir Gudang pernah mengalami satu nightmare, dengan izinnya pada tahun 2015. Pada masa itu, bekalan air di kawasan Pasir Gudang terputus disebabkan oleh kemarau dan bekalan air secara berjadual satu hari ada bekalan air, satu hari tidak ada bekalan air selama 6 bulan. Kini Johor Jaya dimaklumkan bahawa kita akan menghadapi musim kemarau pada bulan Jun dan Julai yang akan datang. Apakah usaha pihak kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air yang mencukupi dan tidak terputus bagi penduduk pada waktu musim kemarau ini?
Yang Berhormat Datuk Speaker, sektor pelancongan merupakan sektor yang penting bagi memajukan negeri dan merangsang ekonomi tempatan. Kalau kita lihat, tidak kira sama ada dalam negeri atau luar negara masing-masing merebut dan berusaha untuk menarik pelancong ke tempat masing-masing. Ada negara juga yang memberikan tiket terbang percuma kepada pelancong untuk menarik pelancong ke negara tersebut. Dalam usaha memajukan sektor pelancongan di negeri Johor, kerajaan negeri telah pun melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor Tahun 2014 hingga 2023. Kalau dikatakan sebagai Pelan Induk pastinya ia menjadi salah satu direction, dengan izinnya atau rujukan bagi segala kerja atau rancangan berkenaan dengan sektor pelancongan. Antaranya, salah satu fokus dalam Pelan Induk tersebut adalah penswastaan atau dikatakan pengkorporatan, Privatized Tourism Johor supaya dapat menjadi sebuah agensi yang lebih proaktif. Saya percaya kalau idea tersebut dirangkumi dalam Pelan Induk pasti ada kajian yang telah dilaksanakan dan ada sebabnya.
Semasa saya memegang portfolio Pelancongan, saya berpeluang berjumpa dengan pihak Tourism dari negeri lain. Saya dapati pihak Tourism di negeri lain telah pun mengambil langkah penswastaan sejak dahulu. Ini membolehkan mereka gerak dengan lebih cepat, pantas. Mengikut trend pelancongan yang terkini dan menjalankan promosi dan marketing dengan lebih kreatif. Sebagai contoh, pihak Tourism di negeri Sabah, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Perak atau Pahang. Kesemua negeri ini sudah pun mengambil inisiatif untuk menjalankan penswastaan.
Johor Jaya percaya dan yakin bahawa negeri Johor yang terletak di lokasi strategik di mana kita bukan sahaja mempunyai 14 pintu masuk di negeri Johor tetapi juga khazanah flora dan fauna yang cukup indah. Kepulauan yang jernih airnya, taman negara yang cukup adventure. Kaya dengan warisan budaya dan makanan enak serta berbeza di setiap daerah. Sejarah negeri Johor juga cukup menarik dan pasti dapat menjadi tumpuan pelancong. Tahun ini adalah tahun 2023. Genap 10 tahun bagi Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor. Johor Jaya ingin bertanya apakah status terkini bagi penswastaan Tourism Johor dan bagaimana prestasi Tourism Johor dan pencapaian mengikut Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor ini? Johor Jaya berpendapat bahawa penswastaan perlu dilaksanakan supaya kita dapat bersaing dengan negeri lain dan bukan digelar sebagai pintu laluan sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, 3 isu utama dalam DUN Johor Jaya yang saya ingin bangkitkan. Pertama sekali, adalah isu Lebuh raya Pasir Gudang. Sejak saya menjadi Wakil Rakyat di Johor Jaya, isu naik taraf Lebuh raya Pasir Gudang sudah pun menjadi salah satu tumpuan utama saya. Lebuh raya Pasir Gudang yang merupakan jaringan utama dalam Johor Bahru masih belum habis kerja-kerja naik taraf. Masalah lampu jalan, jalan berlubang-lubang terutamanya selepas hujan memang menyedihkan pengguna jalan. Johor Jaya berharap, JKR dapat memandang serius terhadap isu Lebuh raya Pasir Gudang dan Johor Jaya ingin bertanya bilakah fasa kemudian dapat bermula dan bilakah keseluruhan projek ini dapat siap? Bukan sahaja jalan yang berlubang-lubang tetapi masalah banjir kilat yang berlaku di arah Masai, Seri Alam dan juga Taman Rinting turut perlu dipandang serius.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kedua adalah isu JJ Square dan Pasar Awam Johor Jaya. Kawasan JJ Square dan Pasar Awam Johor Jaya merupakan satu kawasan Golden Triangle di Johor Jaya iaitu satu pusat ekonomi. Namun, bangunan tersebut sudah lama terbiar dan disyaki penagih dadah yang pecah masuk bangunan tersebut. Baru-baru ini, saya telah melawat Pasar Awam Johor Jaya di mana infrastruktur perlu dibaiki seperti bumbung yang bocor, tangga yang rosak, suis elektrik yang rosak dan sebagainya. Memandangkan KPKT komited untuk mewujudkan Pasar Awam yang lebih selesa, moden dan mampan. Saya cadangkan satu pertandingan reka bentuk terbuka kebangsaan bersama Persatuan Arkitek Malaysia dijalankan supaya ia menjadi satu contoh model di negeri Johor.
JJ Square dan Pasar Awam bukan sahaja satu tempat beli sayur, ikan atau bahan masak sahaja tetapi boleh diberi ruang kepada penduduk yang ingin menjalankan perniagaan kecil, ibu tunggal, orang muda yang ingin bermula perniagaan dengan sewa yang murah. Selain itu, jadikan sebahagian bangunan tersebut sebagai pusat komuniti dan beri ruang kepada pihak yang ingin sewa untuk menjalankan mesyuarat dan aktiviti.
Sebagai contoh, Rex KL sebuah cinema yang lama dan terbiar telah diberi satu imej yang baharu. Kini, tempat tersebut bukan sahaja dijadikan ruang aktiviti tetapi juga bookstore, cafe, medan selera dan anak-anak muda dapat membuat bisnes kecil di tempat tersebut. Dengan ini, adalah mustahak bahawa projek naik taraf atau transformasi Pasar Awam Johor Jaya dan JJ Square dilaksanakan supaya Pasar Awam ini dapat bersaing dengan pasar raya besar dan membolehkan peniaga kecil terus berniaga.
Selain daripada itu, isu ketiga iaitu Projek Taman Seri Molek Perdana. Penangguhan projek Taman Seri Molek Perdana selama 13 tahun telah beberapa kali saya bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini. Atas usaha pelbagai pihak saya juga mengucapkan terima kasih dan tahniah dengan usaha YB EXCO, SPNB kini telah menjalankan serahan kunci sebanyak 240 unit bagi fasa 2, iaitu bagi Blok A, B dan C. Dijangka akan siap dalam sebelum bulan Mei. Namun begitu, Blok D dan E masih lagi menunggu-nunggu serahan kunci. Saya berharap pihak kerajaan dapat memantau supaya Blok D dan E ini turut dapat kunci dalam masa terdekat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Setitis embun di pagi hari, jatuh di atas bunga melati, inilah waktunya untuk perbaiki diri, di bulan Ramadhan yang suci ini’. Selamat menjalani ibadah puasa. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Saya jemput Yang Berhormat Endau.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pertamanya, Endau merafakkan puji dan syukur kepada Allah SWT serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas limpah kurnia serta keberkatanNya Endau berada di Dewan yang mulia pada hari ini.
Terima kasih Endau ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada kali ini. Sesungguhnya, Persidangan pada kali ini adalah penting bagi Endau untuk menyampaikan beberapa permasalahan yang dihadapi di kawasan Endau. Semoga apa yang Endau bangkitkan pada kali ini mendapat perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri.
Terlebih dahulu Endau merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor atas perkenan baginda mencemar Duli merasmikan Persidangan ini dan Endau menjunjung Titah kepada tiap pandangan dan teguran Tuanku.
Pandangan Tuanku berkaitan perkataan pembangkang yang dilihat kurang sesuai dan Tuanku bertitah dengan panggilan pihak pengimbang kerajaan, amatlah patik sanjungi dengan kebijaksanaan Tuanku. Patik juga merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang akan menyambut Hari Keputeraan pada 23 Mac ini. Patik serta seluruh rakyat Endau mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku bersemayam di atas takhta negeri dengan naungan kasih sayang Allah serta diberikan kesihatan yang baik serta dilanjutkan usia Tuanku. Ampun Tuanku.
Di kesempatan ini, Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor serta kerajaan negeri yang telah menyalurkan sumbangan wang ihsan kepada mangsa banjir melalui Pejabat Daerah Mersing. Endau juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa-mangsa yang terjejas teruk dan juga yang terkorban akibat banjir baru-baru ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada perbahasan kali ini bagi menyampaikan suara hati orang Endau. Pertama, mengenai isu serangan gajah liar. Yang Berhormat Datuk Speaker, isu ini telah Endau bangkitkan pada sidang Dewan pada bulan Ogos 2021 dan sidang Dewan pada bulan Jun 2022, berkaitan dengan kebimbangan penduduk di kawasan Endau terhadap kacau ganggu tanaman mereka oleh kumpulan gajah liar ini.
Untuk makluman Sidang Dewan, sehingga kini gangguan gajah masih berlaku dan semakin ramai pemilik kebun yang mengadu dengan Endau tentang permasalahan ini yang masih berlarutan, yang mana tanaman mereka telah habis dirosakkan.
Pada 2021, Endau sendiri telah berjumpa dan melawat kebun-kebun yang telah dirosakkan dan Endau ketika itu telah menyediakan 2 biji meriam besar, meriam besi untuk kegunaan pekebun bagi menghalau gajah daripada mendekati kawasan kebun di Tenglu. Endau...
Yang Berhormat jumpa gajah itu ke?
Ya. Endau percaya bukanlah mudah untuk pihak jabatan yang bertanggungjawab mengatasi masalah ini disebabkan kekangan yang tertentu terutamanya berkaitan dengan kos. Namun, hal ini tidak boleh kita jadikan alasan kerana mereka juga menanggung kerugian besar akibat ancaman serangan gajah ini. Endau pasti masalah serangan gajah liar ini bukan hanya berlaku di kawasan Endau malahan berlaku juga di kawasan-kawasan Yang Berhormat yang lain.
Jadi, Endau berpandangan sudah tiba masanya pihak kerajaan negeri mengenakan syarat yang lebih terperinci kepada aktiviti pembukaan tanah bagi tujuan pertanian secara besar-besaran. Ini juga termasuk dalam Titah Ucapan Tuanku Sultan Johor berkaitan pencerobohan hutan simpan atas tujuan penanaman sawit dan getah dan Tuanku juga menitahkan agar diambil tindakan ke atas hal ini. Kita perlu lihat keseimbangan alam semula jadi serta hidupan gajah dengan kawasan rayau yang diperlukan oleh mereka untuk mencari sumber makanan. Adakah pihak jabatan yang terlibat telah membuat kajian yang terperinci berkaitan dengan jumlah populasi gajah yang sedia ada dan melihat keperluan kawasan rayau yang bersesuaian? Sekiranya tidak seimbang, apakah perancangan awal dan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah ini?
Endau khuatir, sekiranya pekebun-pekebun ini berang dan hilang pertimbangan waras akal manusia dengan mengambil tindakan yang tidak sewajarnya kepada gajah liar itu. Sebagai contoh, memasang perangkap bagi tujuan mencederakan gajah atau meracun gajah melalui penyediaan makanan yang diletakkan racun bagi tujuan membunuh gajah-gajah itu. Jadi, sekali lagi Endau berharap isu berkaitan gajah ini dapat diselesaikan sebaiknya oleh pihak kerajaan dan jabatan berkaitan. Kasihan pekebun kecil ini, Yang Berhormat Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua, Pertanian Pemangkin Pendapatan. Dalam usaha kita mempergiatkan ekonomi melalui agenda jaminan bekalan makanan, perkara asas yang mesti diberikan perhatian adalah berkenaan dengan isu tanah. Sering kali Endau dimaklumkan bahawa permohonan tanah secara besar-besaran oleh sesebuah syarikat besar akan dilayan terlebih dahulu, sebaliknya permohonan penduduk kampung hanya akan dipandang sepi ataupun mengambil masa yang begitu lama.
Endau memahami keupayaan syarikat besar ini dalam pembangunan, membangunkan tanah secara besar-besaran dari segi modalnya, dari segi sumber manusia, dari segi kepakaran dan kemahiran ataupun dari segi jentera dan alatan mesin yang dimiliki. Namun, kita juga harus menyediakan tanah kepada penduduk setempat untuk mengusahakan projek tanaman bagi pendapatan mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pemerhatian Endau, petani di kawasan Endau hanya mampu mengusahakan projek tanaman berskala kecil disebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa menyewa tanah, sebagai contoh, purata seorang penanam tembikai hanya mampu mengusahakan tanaman tembikai seluas 3 hingga 5 ekar sahaja. Dengan keluasan tanah ini, bagaimana mereka mampu mendapat pulangan pendapatan yang tinggi sekali gus mampu menjamin bekalan yang berterusan dalam memenuhi kehendak semasa pasaran. Sebab itu, sidang Dewan, bila kita menyebut berkenaan jaminan makanan, aspek dan minat, pendapatan petani juga dalam kaca mata kita. Endau mendesak kerajaan negeri untuk mengambil inisiatif bagi memperkasa petani sedia ada terutamanya dalam kawasan DUN Endau dengan menyediakan kawasan baru projek tanaman makanan yang dilengkapi dengan kemudahan asas. Semoga hal ini mendapat perhatian yang khusus daripada pihak kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu ketiga adalah Rumah Asas Kehidupan. Endau rasa setiap kali soalan lisan atau bertulis mahupun Endau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan setiap kali persidangan, isu perumahan ini banyak kali dah Endau utarakan. Endau terkilan isu ini Endau bawa ke dalam Dewan negeri yang mulia ini sejak tahun 2018, masih dipandang sepi dan tiada tindakan oleh pihak kerajaan dalam memenuhi keperluan perumahan untuk DUN Endau.
Endau ibaratkan hubungan Endau dengan masyarakat di Endau tidak beza antara seperti ibu dan anak. Ibu mana yang tidak fikirkan anaknya, berhujan ke, berpanas ke, tidur ke, dengan selamatnya dan selamat ke? Kawasan Endau ini kawasan luar bandar, ramai orang susah, tak mampu nak beli rumah, taman yang dijual oleh pihak pemaju sampai beratus ribu. Apa yang mereka harapkan, rumah yang murah, yang mampu mereka beli, sesuai dengan pendapatan mereka. Mereka ini, anak-anak muda ini khususnya telah pun berusaha, bukan tak berusaha, jadi atas semangat ini, atas semangat mereka itu, Endau akan sentiasa memperjuangkan hal perumahan ini.
Dalam ziarah kasih Endau di kawasan, di kampung-kampung baru-baru ini, ada seorang warga emas merupakan penerima Baitulmal. Rumah uzur dek dimakan anai-anai, tunggu masa untuk roboh. Yang bahagian depan roboh, yang bahagian depan dah roboh dah, YB Datuk Speaker, tinggal bahagian dapur pun sahaja, itu pun bocor di sana sini. Sebelah rumah pakcik ni, ada rumah Baitulmal, jadi bila tahu pakcik ni penerima Baitulmal, Endau sarankan pakcik ini memohon bantuan rumah Baitulmal. Rupanya, rumah yang di sebelah rumah pakcik tu, adalah rumah milik pakcik tersebut tapi telah diserahkan kepada anak dan menantunya kerana anaknya itu tidak mempunyai rumah sendiri. Jadi, dikiranya, pakcik ini dia mengalah dan duduklah di rumahnya yang dah nak hampir nak roboh, Yang Berhormat Datuk.
Dan, saya juga faham dan untuk makluman juga sidang Dewan pada pagi ini, majoriti penduduk di Endau, rumah mereka didiami oleh seramai 4 hingga 5 pasang keluarga duduk bersama. Jadi, sekali lagi Endau merayu agar projek perumahan rakyat untuk penduduk DUN Endau diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keempat ialah Keperluan Pengubahsuaian Membesarkan dan Kemudahan Masjid Jamek Bandar Endau. Untuk pengetahuan sidang Dewan, di daerah Mersing terdapat dua buah masjid daerah yang di selenggara oleh Pejabat Agama Daerah Mersing. Satu masjid terletak di Bukit Cantik dalam bandar Mersing dan satu lagi terletak di bandar Endau. Untuk masjid di bandar Mersing pengubahsuaian telah dijalankan dan menjadi sebahagian tarikan di bandar Mersing. Bagi Endau, keperluan untuk pengubahsuaian dan pembesaran masjid jamek ini adalah wajar berikutan masjid ini merupakan masjid tumpuan masyarakat sekitar bandar Endau untuk solat-solat khusus seperti solat Jumaat ataupun solat Aidilfitri.
Jadi, bila jadi tumpuan ini, maka ianya tidak dapat menampung jumlah kapasiti jemaah pada satu-satu masa serentak sebegitu. Endau berpandangan bahawa kerja-kerja ini boleh dilakukan berikutan masjid tersebut masih mempunyai keluasan tanah dan kawasan yang mencukupi. Satu lagi berkaitan masjid ini adalah kemudahan van jenazah untuk kariah setempat. Sepanjang terbina masjidnya ini, masjid ini tidak pernah mempunyai sebuah van jenazah untuk kegunaan fardu kifayah ini. Kebiasaannya pihak waris terpaksa menghubungi pihak NGO mahupun masjid sekitar yang mempunyai perkhidmatan van jenazah untuk menguruskan kematian ahli keluarga mereka. Jadi, Endau mohon kalau boleh, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor dapat melihat keperluan mengubahsuai dan membesarkan masjid ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir, yang ingin Endau akan sentuh sekali lalu sahaja, jadi Endau mohon pihak ada jabatan yang berkaitan boleh take note, dengan izin dan ambil tindakan. Pertama, kalau boleh Endau ingin minta pihak Jabatan Kerja Raya untuk tengok balik pencahayaan jalan di kawasan Masjid Kampung Sawah Datuk. Endau dah dapat banyak kali aduan daripada orang kampung, yang mana sering berlaku kemalangan di situ, disebabkan jalan yang gelap, kadang-kadang lampu jalan hidup, kadang-kadang tak hidup.
Yang kedua, mohon pihak Jabatan Pertanian untuk semak berkaitan status permohonan jawapan padi untuk sawah Kampung Semaloi. Endau rasa hal ini masa YB Simpang Ulu Jeram jadi Menteri Pertanian pun, YB ada melawat dan cuba menyelesaikan masalah ini. Berkaitan padi juga, mohon pihak Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membantu pesawah di situ berkaitan air. Yang mana air dari Empangan Labong tak sampai ke petak sawah mereka yang jauh, tak silap Endau, jarak parit yang mengalirkan air dari Empangan Labong nak sampai ke kawasan sawah lebih kurang 8 kilometer.
Endau faham, masalah yang dilalui adalah disebabkan rumput yang panjang dalam parit hingga memperlahankan pergerakan air. Kerja pembersihan pun JPS Mersing pernah laksanakan tapi tak lama keberkesanannya. Jadi, pihak JPS boleh cuba memohon, mohon peruntukan dari pihak kerajaan untuk mungkin membina parit konkrit dari Empangan Labong ke sawah untuk laluan air.
Ketiga, Endau juga mohon Majlis Daerah Mersing untuk lihat balik apakah status pusat pelupusan sampah di Batu Enam hingga 9, Jalan Endau. Setahu Endau, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan proses perolehan tanah.
Yang Berhormat, tinggal 2 minit.
Yang keempat, mohon kalau boleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sediakan sejumlah peruntukan untuk bayaran elaun petugas sukarelawan JKM. Endau dimaklumkan mereka hanya akan menerima elaun untuk tugasan home health dengan izin. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker, hampir 60% hingga 70% pengurusan pusat pemindahan sementara banjir diuruskan dengan bantuan pihak sukarelawan ini secara tanpa bayaran elaun.
Yang Berhormat Ahli Parlimen Mersing juga, dah membangkitkan isu ini dalam Sidang Dewan Rakyat kepada Yang Berhormat Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Endau rasa setakat ini sahaja yang Endau ingin sampaikan di Dewan yang mulia ini. Endau sentiasa menginsafi bahawa setiap pemimpin sentiasa ada kelebihan dan kelemahannya. Segala kelebihan yang ada, Endau akan terus perjuangkan membawa isi hati rakyat Endau di kawasan, di Dewan ini. Segala kelemahan yang ada pula Endau akan sentiasa perbaiki dari semasa ke semasa.
Mengambil kesempatan ini, Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Johor, anggota keselamatan, Jabatan Penyelamat, pihak sukarelawan dan NGO yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pengurusan Bencana Banjir Negeri Johor pada tahun ini. Semoga dengan muafakat kita, semua Bangsa Johor, negeri ini akan terus makmur, di bawah rahmat Allah SWT.
Akhir kalam, Endau mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Tahun 2023 kepada seluruh Ahli Dewan serta petugas-petugas Pejabat Jurutulis Negeri Johor. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Endau. Sekarang dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana limpah kurnia atas kurniaan serta izin-Nya memberikan kemudahan dan kelancaran Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor yang Ke-15 pada hari ketiga pada hari ini. Patik dan seluruh warga DUN Sungai Balang menzahirkan rasa takzim dan menjujung kasih di atas titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al Haj yang menyentuh aspek menyeluruh dalam hal ehwal ekonomi negeri Johor. Patik juga menzahirkan ucapan menjujung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al Haj, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, yang berkenan mencemar duli melawat rakyat tuanku yang terjejas akibat banjir di pusat penempatan banjir sementara bagi seluruh negeri Johor Darul Ta’zim. Tidak lupa juga patik menzahirkan ucapan terima kasih kepada paduka-paduka anaknda tuanku yang turut sama mencemar duli melawat dan menyantuni rakyat yang sedang berdukacita atas kejadian banjir yang menimpa mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, firman Allah SWT dalam surah Al-‘Ankabut ayat 2 yang bermaksud, “apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan dengan hanya menyatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji”. Baru-baru ini negeri Johor telah melalui Mehnah dalam ujian Allah SWT yang mana kita telah dilanda banjir yang agak parah. Sesungguhnya seramai 74,453 orang rakyat Johor yang melibatkan 26,376 keluarga telah diuji dengan musibah ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Saya merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat khasnya kepada penduduk di Seri Medan kerana masih hari ini terjejas akibat banjir termenung dan mendoakan mereke semua diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Bagi
menangani permasalahan ini saya memohon agar pihak kerajaan melalui Jabatan Perparitan dan Saliran dapat menambah jumlah peruntukan menyelenggara perparitan di kawasan-kawasan berisiko banjir seluruh negeri serta menambah kekerapan kerja penyelenggaraan parit dan longkang. Namun demikian, kita perlu mengakui bahawa fenomena banjir ini bukan lagi satu fenomena bermusim akan tetapi ia akan datang dalam masa yang tidak terduga. Kadar taburan hujan yang melebihi daripada kadar biasa telah mendedahkan kita semua kepada bencana banjir.
Saya amat menghargai usaha Yang Berhormat Semerah yang kerana mengambil inisiatif menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS oleh pihak masjid di sekitar kawasan bencana. Jadi, usaha ini berjaya mencerminkan organisasi masjid dapat berperanan dan dalam komuniti dikala musibah berlaku. Kita menyedari bahawa kerajaan tidak dapat menampung keseluruhan kos kerugian yang berlaku pasca banjir ini. Tambahan pula bencana tersebut menjadi berulang kali yang meninggalkan impak bersar kepada rakyat dan prasarana awam. Anggaran awal kerugian akibat kerosakan jalan dan infrastruktur awam sebanyak RM168 juta telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Bukit Pasir pada 14 Mac 2023 yang lalu. Jika sekiranya jumlah ini berganda dalam setahun, sudah tentu ia akan memberi bebanan kewangan yang lebih tinggi kepada kerajaan untuk mengeluarkan bajet pemuliharaan tersebut. Oleh yang demikian, saya mencadangkan kerajaan merangka satu dasar keterlibatan pihak swasta dan GLC dalam solusi pemulihan pasca banjir kepada rakyat. Sebagai contoh, penyaluran dana pemuliharan pasca banjir tersebut di keluarkan oleh kedua-dua pihak bagi usaha meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada itu pembinaan pintu air di kawasan yang bersesuaian perlu dibuat bagi mengawal air di samping penyelenggaraan pintu air yang secara efisien. Di kesempatan ini saya memohon kerajaan negeri agar dapat menaik taraf parit kecil di kawasan Seri Menanti sehinggalah ke Parit Kesang sepanjang jalan Muar-Batu Pahat dengan memasang longkang besar bagi melancarkan aliran air.
Tatkala saya berdiri di Dewan yang mulia ini, secara konsisten saya ingin membawa isu pembangunan di kawasan saya iaitu Sungai Balang dalam hal ini kerana permintaan rumah mampu milik adalah begitu tinggi dikalangan rakyat di kawasan luar bandar. Seperti mana juga yang dituntut yang diajukan oleh YB Endau. Kawasan yang bersesuaian untuk projek perumahan mampu milik Johor ini juga telah dikenal pasti dalam kawasan zon Sungai Balang. Acap kali saya telah suarakan akan isu perumahan mampu milik yang dibina dikawasan Sungai Balang. Yang Berhomat EXCO Perumahan juga telah saya suarakan tentang hal ini dan beliau mengambil maklum. Tambahan pula kawasan Sungai Balang bakal menerima limpahan ekonomi koridor Maharani Energy Gateway atau MEG yang pastinya akan melonjakkan permintaan bagi sektor perumahan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat di luar sana sedang menunggu projek tersebut dimulakan oleh pihak kerajaan bagi merealisasikan hasrat mereka memiliki rumah sendiri. Saya mencadangkan pihak kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan izin, joint venture dengan pihak pemaju hartanah dan juga perumahan bagi mempercepatkan usaha pembinaan perumahan mampu milik tersebut di kawasan yang telah dikenal pasti. Dengan adanya usaha sama ini harga jualan rumah akan dapat dikurangkan dan pihak kerajaan negeri telah menyediakan tanah dan pihak pemaju bertanggungjawab membina rumah di atas kawasan tapak tersebut. Golongan muda khasnya adalah golongan yang amat-amat menanti berita gembira ini, kerana sekiaranya mereka, umur mereka semakin meningkat syarat pinjaman perumahan oleh pihak bank sudah tentunya akan menjadi lebih sukar kerana perkiraan tempoh pembayaran balik tersebut dalam menjangkau sehingga usia 30 tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah beberapa kali dalam kunjungan dan lawatan bangunan ke fasiliti Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. Sungguh pun hospital di luar kawasan Parlimen dan DUN saya namun rakyat Sungai Balang majoritinya mendapatkan khidmat rawatan di hospital ini. Bersama-sama dengan Pengarah hospital tersebut Dr. Yusof Sibert, beliau telah memberi taklimat dan permasalahan yang dihadapi pentadbiran hospital dan rakyat Muar. Saya dapati terdapat fizikal dan infrastruktur bangunan ini, bangunan hospital ini dalam keadaan yang sangat uzur dan perlu dinaik taraf bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Dari segi peralatan perubatan pula ia perlu ditambah dan dinaik taraf berdasarkan keperluan semasa selaras dengan status sebagai sebuah hospital pakar. Dalam aspek tempat letak kereta pula, saya difahamkan cadangan membina sebuah parkir bertingkat telah dibawa dan diajukan ke kerajaan pusat. Oleh hal yang demikian, saya memohon kerajaan negeri mendesak supaya kelulusan projek tersebut dipercepatkan oleh kerajaan pusat demi keselamatan dan penggunaan Hospital Pakar Sultanah Fatimah ini. Saya berdiri disini untuk sukar mendapatkan parkir kereta, sebab dalam tempoh lawatan ke hospital itu, walaupun kita akan datang seawal 7.00 pagi namun untuk bagi membina sebuah bangunan parkir kereta dilihat dapat membantu permasalahan ini. Tambahan pula Hospital Pakar Sultanah Fatimah ini menjadi pilihan penduduk bersebelahan, seperti Segamat, Tangkak malahan rakyat dari negeri Melaka juga turut mendapatkan rawatan di hospital ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam aspek pendidikan pelajar dan guru memerlukan persekitaran yang kondusif dan selesa bagi menjalankan proses pendidikan dan pembelajaran. Dengan jumlah sebanyak 1,189 buah sekolah di seluruh negeri Johor, hal ini secara tidak langsung berkait dengan fizikal dan keadaan bangunan yang harus berada dalam keadaan baik dan selamat kepada penghuninya. Di kawasan Sungai Balang terdapat 5 buah sekolah menengah dah 14 buah sekolah rendah kebangsaan. Dari jumlah tersebut terdapat beberapa sekolah yang berada dalam keadaan yang sangat uzur dan daif serta memerlukan pembaikan dan naik taraf. Selain daripada sekolah menengah dan rendah sekolah agama kerajaan Johor juga tidak kesampingkan. Dalam usaha menaik taraf dan memulihkan bangunan yang uzur, sebanyak 16 buah sekolah agama kerajaan Johor dalam DUN Sungai Balang juga memerlukan perhatian dalam aspek kebajikan infrastruktur serta fasiliti sekolah. Semoga peruntukan RM9.4 juta pada tahun ini dapat dinaikkan lagi untuk tahun hadapan aga kerja-kerja penyelenggaraan sekolah agama ini dapat diluaskan skopnya. Perkara yang pokok yang penting dalam aspek keselesaan adalah keadaan bangunan sekolah yang elok bercat sempurna. Saya memohon pihak kerajaan memberikan peruntukan bagi kerja-kerja mengecat semula bangunan yang telah kusam dan terkopek catnya agar indah mata memandang seterusnya menarik minat pelajar untuk menuntut ilmu. Perkara ini sememangnya berkait rapat dengan faktor emosi dan psikologi manusia melalui pancaindera mata.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga sering mendapat aduan dan permintaan oleh penduduk kampung kawasan saya akan lampu jalan yang kurang dan masjid, terdapat banyak kawasan yang gelap yang memerlukan lampu. Yang mana saya dan YB Endau adalah merupakan DUN kawasan pendalaman, lampu ini sangat penting bagi kami. Faktor-faktor tersebut adalah perlu diberi perhatian bagi mengurangkan risiko bahaya kepada penduduk kampung dan penduduk dan pengguna jalan kampung pada waktu malam. Dan, di Sungai Balang kebiasannya kita bermasalah dengan kehidupan khizir atau pun babi, sama juga seperti di Endau yang menghadapi masalah tentang gajah. Tahun lalu sahaja di kawasan saya telah terjadi sebanyak 7 kes penunggang motorsikal melanggar babi hutan yang melintas jalan dan daripada kemalangan tersebut 3 orang mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Kes-kes ini terjadi pada waktu malam di kawasan gelap. Seperti saya nyata tadi, justeru itu langkah mengurangkan risiko kemalangan tersebut saya mohon kerajaan melalui pihak bertanggungjawab supaya memfokuskan pemasangan lampu jalan di kampung-kampung berisiko tinggi. Dengan peruntukan
sebanyak RM3.5 juta bagi pemasangan lampu jalan dalam belanjawan 2023 diharap dapat menambah bilangan lampu-lampu jalan di kawasan-kawasan yang memerlukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kemudahan-kemudahan jalan dan jalan kampung yang baik juga menyumbang kepada aspek keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya. Selain menjadi faktor kesambungan jaringan jalan ia turut memainkan peranan sebagai kemudahan untuk membawa hasil pertanian di kampung-kampung ke pusat jualan. Dalam waktu pasca banjir ini sudah semestinya jalan-jalan kampung yang tenggelam untuk tempoh yang lama akan mudah pecah dah berlubang. Apabila keadaan melalui jalan tersebut, justeru itu pihak kerajaan perlu menghantar pasukan pemantau fizikal jalan bagi memastikan jalan dalam keadaan sentiasa baik dan saya mengharapkan Yang Berhormat EXCO berkaitan dapat memberikan fokus kepada permasalahan ini khasnya di kawasan di DUN Sungai Balang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat juga terhimpit dengan kos sara hidup yang begitu ketara apabila negara berhadapan situasi dengan izin, the great decision global. Kadar inflasi yang meningkat telah menyumbang kepada kemampuan kuasa beli pengguna yang mengecil. Kos beli terpaksa dilakukan juga meningkat, barang keperluan makanan seperti ikan, sayur, telur dan daging telah meningkat harganya dengan begitu tinggi. Rakyat di kampung juga turut terasa dengan kenaikan barang ini disumbang pula dengan penurunan harga sawit yang menjadi sumber pendapatan mereka. Para peniaga memberikan alasan bahawa mereka menghadapi kekurangan bekalan makanan menyebabkan peniaga terpaksa menaikan harga barang. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu melakukan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang kepada pembekal dan pemborong agar tiada cubaan untuk menyorok stok demi manupulasi pasaran.
Yang Berhormat, tinggal 2 minit.
Bagi mengelakkan impak kenaikan harga barangan keperluan makanan diharap kerajaan dapat menjanakan pelbagai inisiatif dalam usaha menangani kenaikan harga barang tersebut. Sumber makanan domestik perlu diperkasa dan memastikan kejaminan bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk menyumbang kepada kestabilan harga. Pemberian subsidi bersasar kepada pertanian, nelayan juga mampu menyumbang kepada kestabilan output yang akan dinikmati dan oleh rakyat.
Dan, dikesempatan ini juga dalam lubuk hati saya sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Pertanian kita dimana beliau telah menyalurkan bantuan pasca banjir kepada petani dan penternak yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini. Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang menjunjung titah ke bawah Duli Yang Mulia Tuanku dan mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Sekarang dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Selamat tengahari, salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana telah memberi peluang dan ruang kepada Tangkak untuk terus menyertai dalam perbahasan atas rundigan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang dibawa oleh rakan saya Yang Berhormat Kukup. Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak merafak sembah setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Tuanku ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang Ke-15. Tangkak juga menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenaan dengan bencana banjir yang sedang berlaku dan isu-isu
penting di negeri Johor. Tangkak juga ingin menzahirkan rasa simpati sedih dan berdukacita kepada mangsa-mangsa yang terkesan dalam bencana banjir kali ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir bukan hanya fenomena alam tetapi juga ada unsur-unsur manusia. Tangkak bagi contoh, rumput dan tumbuhan air di parit menjadi begitu subur disebabkan cara pembajaan tanaman yang dilakukan oleh pihak petani dengan cuma meletakkan beg-beg baja yang telah dibocorkan berhampiran dengan tanaman. Apabila berlakunya hujan, baja tersebut dilarutkan dan mengalir ke parit dan sungai. Oleh itu, Tangkak minta para petani supaya menambahbaikkan cara pembajaan ini untuk mengelakkan pembaziran dan juga pengaliran terus baja ke parit dan sungai.
Contoh kedua, penduduk-penduduk sekarang selalu membuangkan sisa dan sampah sarap ke dalam parit dan sungai. Kelakuan ini juga akan mencemarkan sungai dan juga menghalangkan saliran air terutama pada waktu hujan lebat dan berterusan. Sikap-sikap manusia yang tidak bertanggungjawab inilah antara punca-punca musibah banjir menjadi semakin serius dan kerap. Sekiranya sikap-sikap ini dibiarkan berterusan kos yang tinggi terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi membersihkan parit dan sungai dari tumbuhan air yang tumbuh subur dan sampah sarap yang telah dibuang ke dalam saliran air.
Tangkak menyeru anak Johor menyahut gesaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor supaya membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Selain itu, Tangkak juga bercadang Kerajaan Johor supaya mengusulkan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya dapat membeli peruntukan khas bagi negeri Johor untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan parit, sungai dan juga kolam-kolam takungan banjir di negeri Johor. Terutamanya di daerah-daerah yang sering kali ditimpa, dilanda banjir seperti dan juga daerah-daerah yang mempunyai batang sungai ataupun parit yang banyak seperti di daerah Batu Pahat. Dimaklumkan Batu Pahat adalah salah satu daerah di negeri Johor yang mempunyai paling banyak saliran parit di negeri Johor dan sepanjang 2,695 kilometer.
Selama ini, kita selalu diberitahu kerana kekurangan atau ketidakcukupan ataupun peruntukan yang terhad yang telah mengakibatkan kerja-kerja pembersihan parit dan sungai tidak dapat dijalankan dengan kerap ataupun sempurna. Jadi, Tangkak berpendapat peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan ini haruslah diberi dengan secukup-cukupnya kerana kita perlu memastikan saliran air di negeri kita sentiasa berada di dalam keadaan yang boleh berfungsi supaya ia akan berkesan apabila berlaku hujan lebat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kos kerugian selepas berlaku musibah banjir adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah peruntukan kerajaan untuk penyelenggaraan parit dan sungai. Tangkak juga mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan yang telah menyediakan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor. Tangkak meminta supaya bantuan kewangan, bantuan barang-barang keperluan asas dan juga bantuan pembaikan rumah dapat disalurkan dengan seberapa segera yang mungkin kerana ramai mangsa terutama kepada umat Islam yang akan memasuki bulan Ramadan dalam beberapa hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perubahan iklim adalah satu isu kompleks yang merentasi pelbagai bidang dan sektor seperti tenaga, pertanian, pengangkutan, industri, perhutanan, kesihatan awam, sumber air, pemulihan biodiversiti dan lain-lain lagi. Perubahan iklim ini bukan sahaja berlaku di Johor dan bukan sahaja di Malaysia tetapi di setiap bandar dan negara. Kini dirasai keadaan cuaca berubah-ubah secara ekstrim. Kenaikan paras air laut serta berlaku bencana alam. Tangkak mengalu-alukan pengumuman Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor berkenaan dengan cadangan Penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana Banjir di bawah Dewan Negeri Johor baharu-baharu ini. Tangkak percaya dengan adanya Jawatankuasa ini, ia dapat membantu kerajaan merangka
satu hala tuju yang jelas selain sebagai persediaan untuk mendepani kemelut perubahan iklim. Jawatankuasa ini juga boleh menggariskan beberapa isu penting melibatkan kemelut iklim, mencari formula terbaik sebagai rencana untuk daya tahan iklim dan tebatan banjir. Mengerakkan Johor ke arah pelepasan sifar bersih dengan izin, net zero emissions sambil menekankan aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menurut maklumat yang dibekalkan oleh kerajaan Johor sebanyak 1,249 tan sampah dikutip di seluruh negeri kesan bencana banjir sejak 3 Mac lalu. Peningkatan sebanyak 4 kali ganda berbanding dengan hari biasa. Sudah tentu jumlah sisa dan sampah akan terus meningkat sehingga selesainya kerja-kerja pembersihan di kawasan banjir. Sisa dan sampah ini juga akan mengakibatkan ruangan di tapak pelupusan sampah yang sedia ada mengurang dengan lebih laju. Tangkak mohon pihak kerajaan dapat memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini berkenaan dengan jangka hayat terkini bagi ke semua tapak pelupusan sampah di negeri Johor.
Pengurusan tapak-tapak pelupusan sampah di Johor perlu diteliti. Bagi tapak pelupusan sampah yang telah ditutup sejak beberapa tahun yang lalu ini. Seperti, Tapak Pelupusan Sampah Bekok di Tangkak yang tutup pada tahun 2018, Ladang CEP Simpang Renggam pada 2019 dan Tapak Pelupusan Sampah Bukit Bakri pada tahun 2020. Tangkak rasa kita tidak boleh membiarkan tapak-tapak pelupusan sampah yang telah ditutup, yang lama ini dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya, pemulihan tapak pelupusan sampah dengan teknologi terkini yang sedia ada pelbagai jenis perlu dimulakan oleh kerajaan Johor bermula dari sekarang supaya tapak-tapak yang dipenuhi sampah sarap itu dapat diguna semula.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan ada menyediakan insentif bagi projek-projek pemulihan tapak pelupusan sampah yang lama. Dan insentif itu dibeli dengan mengikut kapasiti tapak pelupusan sampah yang ingin dipulihkan. Di bandar Tangkak, saya bagi contoh, disebabkan tapak pelupusan Bekok telah ditutup, sampah domestik perlu dihantar ke daerah bersebelahan, tapi ia telah menyebabkan munculnya banyak tapak pelupusan sampah haram. Di tanah lapang, di tepi jalan dan ada juga terus dibuang ke dalam parit dan sungai. Masalah ini berulang walaupun penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan juga SWCorp telah mengambil tindakan dan membersihkan tapak haram itu dalam beberapa hari lagi ia berulang lagi, Yang Berhormat Tuan Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam titah di Dewan yang mulia ini telah mengiktirafkan kami Wakil Rakyat bukan kerajaan negeri sebagai penimbang kerajaan. Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dan juga Barisan EXCOnya juga telah bermula menjemput kami untuk menghadiri ke program-program atau mesyuarat yang melibatkan kepentingan ramai. Tangkak rasa ini adalah satu permulaan yang baik dan sebenarnya selama ini kami walaupun Wakil Rakyat bukan kerajaan negeri tetapi kami juga sentiasa membantu dan menyokong kerajaan dalam isu-isu penting.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada 7 Februari 2023 Jabatan Perdana Menteri Malaysia telah mengeluarkan Arahan Nombor 1 2023 iaitu Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara dan di peringkat daerah dinyatakan keahlian bagi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) adalah semua Ahli Parlimen dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri bagi daerah berkenaan. Bersama juga ketua-ketua jabatan dalam daerah dan JTPD ini akan di pengerusi oleh Pegawai Daerah. Oleh itu, saya harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat menjelaskan ataupun dapat memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini iaitu bilakah ke semua Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor yang berada di Dewan yang mulia ini dapat dibenarkan untuk memasuki atau menghadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah supaya kita dapat melaksanakan tugas kami sebagai Ahli di JTPD?
Yang Berhormat, satu minit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tujuan kita masuk ke JTPD adalah untuk membantu dan menelitikan sebarang isu-isu berkaitan dengan daerah kita. Dan Tangkak percaya, setelah kita dapat selesaikan masalah tempatan di peringkat daerah, sudah tentu masa perbahasan kita yang singkat di Dewan yang mulia ini dapat digunakan untuk kita sama-sama membincangkan isu-isu yang lebih penting di peringkat negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang terakhir yang Tangkak ingin bawa pada kali ini adalah cadangan pembinaan Pusat Pentadbiran Baharu Daerah Tangkak yang terletak di Batu 15, Bandar Tangkak telah diumumkan pada tahun 2008. Tindakan pengambilan balik tanah dan keluasan 348.3 ekar oleh kerajaan Johor juga telah selesai pada tahun yang sama. Kelulusan permohonan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Daerah Tangkak juga telah diluluskan pada 24 Disember tahun 2008. Namun, hingga hari ini keadaan di tapak lagi terdiri daripada tanaman kelapa sawit. Pelan Pembinaan Pusat Pentadbiran ini melibatkan membina 7 unit blok pentadbiran kerajaan, ada pejabat daerah, ada hospital, ada balai polis ada balai BOMBA, ada terminal pengangkutan dan perjanjian kerajaan dengan pemaju ketika itu juga telah memberi baki tanah tapak untuk digunakan oleh pemaju untuk membina 6 desa perumahan dan 3 blok kawasan komersial. Tapi...
Yang Berhormat, masa tamat.
Ok. Oleh itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon pihak kerajaan negeri dapat menelitikan lagi projek yang telah diumumkan 15 tahun yang lalu ini. Akhir kata, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas masa yang diberi. Sebelum Tangkak menutup perbahasan pada tengah hari ini, Tangkak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, kepada rakan-rakan Yang Berhormat, kakitangan-kakitangan kerajaan dan semua seluruh umat Islam sempena memasuki bulan Ramadhan. Sekian, terima kasih.
Kalau ada kurma lebih, bagi pada semua YB-YB ini Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Dijemput Ahli Yang Berhormat Parit Yaani.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama sekali, Parit Yaani ingin merafakkan sembah, merakam setinggi-tinggi penghargaan dan juga Menjunjung Kasih Kebawah Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor bersempena Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Dalam tempoh ruang yang terhad ini, Parit Yaani mahu mengangkat dan menyentuh beberapa perkara khususnya yang melibatkan kepentingan serta kebajikan buat seluruh bangsa Johor khususnya di DUN Parit Yaani. Kita semua sedia maklum pada awal bulan ini, Johor berdepan dengan situasi yang agak mencabar dan agak mencemaskan apabila
puluhan ribu rakyat di negeri ini terpaksa mengharungi kepayahan ekoran banjir yang melanda di kawasan mereka. Menurut rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa yang dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja merekodkan jumlah tertinggi seramai 74,453 orang daripada 26,376 keluarga iaitu melibatkan 10 daerah di negeri Johor. Sebanyak 379 Pusat Pemindahan Sementara ini juga dibuka di negeri ini. Kejadian banjir kali ini hampir mengulangi sejarah bah besar yang pernah melanda negeri Johor iaitu pada tahun 2006 dulu. Kali ini, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan mangsa yang dipindahkan dan mendapat perlindungan di PPS menjangkau angka lebih 39,000 orang mewakili lebih 10,000 keluarga. Sebanyak 112 jumlah PPS juga sudah dibuka di Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Parit Yaani antara kawasan yang terjejas. Jumlah mangsa yang dipindahkan juga antara yang tertinggi melibatkan lebih 12,000 mangsa daripada 3,000 keluarga. Di DUN Parit Yaani sahaja terdapat 35 PPS dan sebahagiannya adalah menampung keperluan daripada mangsa banjir daripada DUN Sri Medan, DUN Yang Berhormat Datuk Speaker sendiri dan juga Yang Berhormat Parit Raja. Dan di kesempatan ini juga saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor supaya untuk jangka masa panjang, diwujudkan sebuah PPS yang berskala besar di kawasan tinggi di kawasan DUN Parit Yaani untuk menampung sekurang-kurangnya 2,000 hingga 3,000 orang. Ini kerana, pada awal musibah banjir itu berlaku di DUN Parit Yaani ini menampung mangsa di jiran sebelah ini iaitu di DUN Sri Medan dan akhirnya penduduk atau pun pengundi di Parit Yaani sendiri pun terpaksa menduduki PPS di tempat lain yang agak jauh daripada kampung sendiri, mungkin boleh diketengahkan cadangan itu tadi.
Jalan penghubung utama antara pekan Jalan Parit Yaani ke Jalan Sri Bengkal juga terputus hubungan termasuklah Jalan Parit Jalil ke Jalan Parit Sulong. Situasi yang dialami di DUN Parit Yaani ini, samalah derita yang terpaksa ditanggung oleh mangsa-mangsa dan mereka yang terjejas banjir di kawasan Yang Berhormat Sri Medan, Yong Peng, Semarah, Semarang dan Parit Raja. Bukan sahaja kediaman mangsa-mangsa banjir ini dinaiki air sehingga ada yang melewati ketinggian lebih 1 meter atau lebih 3 kaki. Lebih buruk lagi seperti diketahui umum, banjir di kawasan DUN-DUN ini dikategorikan sebagai banjir termenung. Untuk makluman, Parit Yaani sememangnya terkenal dengan masalah isu banjir termenung. Kalau tak ada bah besar pun memang adalah isu banjir termenung. Banjir termenung ini sudah tentunya menyukarkan pelbagai pihak. Ia turut mendatangkan masalah berganda khususnya dari segi bentuk infrastruktur seperti jalan raya yang sudah mula berlopak dan berlubang. Keadaan tebing sungai yang semakin rapuh dan sebagainya. Benarlah anggaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini yang menyatakan bahawa negeri ini sebenarnya mengalami kerugian kira-kira RM168 juta akibat kerosakan beberapa jalan dan infrastrukturnya akibat banjir.
Selain itu, mangsa juga perlu menginap di PPS lebih lama dalam situasi banjir termenung ini. Kesukarannya juga dirasai oleh warga pekerja yang terpaksa mengharungi 1001 rintangan untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari. Bagi pekebun dan peladang, penternak, mereka tidak dapat pergi ke kebun untuk memetik kelapa sawit atau pun menoreh. Bahkan, yang menanam sayuran dan bertani juga hasilnya turut musnah ditenggelami air. Malah, saya lihat sendiri ada lembu yang mati lemas, yang berniaga juga terpaksa menutup premis dan perniagaan ini. Banyak harta benda milik individu atau harta awam seperti di masjid dan surau, balai raya, dewan orang ramai, bahkan premis awam seperti balai Polis dan sekolah yang mula mengalami kerosakan serta ada juga barang-barang yang sudah pun musnah ditenggelami air. Semalam, saya sendiri mengikuti program gotong royong di satu tempat iaitu di Pusat Dalam Komuniti (PDK) DUN Parit Yaani. Saya lihat di situ, hampir 90% musnah dan saya minta kalau boleh YB EXCO bantulah sama PDK tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sebalik beban besar yang ditanggung mangsa-mangsa banjir ini, peranan pihak berkuasa dan agensi penyelamat amat besar sejak hari pertama lagi. Dari pemantauan awal di kawasan hotspot arahan berpindah kepada mangsa yang terjejas di kawasan banjir. Operasi mengeluarkan mangsa yang terjejas di kawasan banjir, kerja keras anggota dan pasukan penyelamat Bomba, APMM, Rela, Polis dan lain-lain menjadikan segala urusan menyelamat di daerah Batu Pahat khususnya di daerah DUN Parit Yaani berjalan lancar.
Saya juga mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga khususnya buat Pejabat Daerah Batu Pahat, Tuan Pegawai DO yang merupakan Pengerusi Bencana Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat, Jabatan Pengairan Dan Saliran Batu Pahat, JKM Batu Pahat dan lain-lain agensi atas khidmat terbaik mereka dalam mengurus serta mengendali urusan mangsa banjir di kawasan DUN Parit Yaani. Dan sudah pastinya juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang pantas bertindak dalam memastikan pengurusan banjir di Batu Pahat sentiasa terkawal. Usaha pantas kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dalam mengusahakan kerja-kerja mengepam air banjir keluar dari kawasan terjejas menerusi peranan di laksana JPS Daerah termasuk mendapatkan bantuan pam air dari negeri lain akhirnya menyaksikan banyak air yang menenggelami kawasan kediaman di DUN Parit Yaani sejak minggu lalu, kini sudah mula surut dengan mendadak. Terima kasih, terima kasih, terima kasih.
Di sini, saya juga merakamkan terima kasih di atas keprihatinan yang jelas terzahir oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor serta Tuanku Tunku Mahkota Johor yang berkenan turun sendiri melihat dan memantau situasi banjir di negeri ini. Keprihatinan Tuanku turun sendiri menyantuni dan membantu mangsa-mangsa banjir telah banyak meringankan beban besar yang terpaksa ditanggung mereka. Tuanku memang dekat di hati bangsa Johor, terima kasih Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam mendepani situasi pasca banjir, cabarannya juga besar buat kita semua. Saya meletakkan sepenuh harapan dan daya supaya kerja-kerja pembaikan infrastruktur seperti jalan raya, kawasan saliran dan sebagainya yang mengalami kerosakan fizikal dapat disegerakan demi keselesaan kepada penduduk. Rancangan Projek Tebatan Banjir (RTB) membabitkan kerja menyelenggara seperti mendalam sungai-sungai utama di daerah Batu Pahat khususnya yang melibatkan kawasan DUN Parit Yaani, dapatlah kiranya supaya disegerakan pelaksanaannya. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan supaya Projek Tebatan Banjir di daerah Batu Pahat ini dapat dimulakan dengan segera dalam tempoh beberapa bulan ini. Usaha ini sudah tentunya dapat melegakan penduduk khususnya di kawasan yang terdedah banjir seperti sekarang. Kita harap usaha dan langkah berterusan seumpama ini baik yang di laksana pihak kerajaan negeri atau persekutuan akhirnya mampu mendatangkan impak besar dalam menjamin keselesaan penduduk pada masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Khamis ini seluruh umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadhan, bulan mulia yang dinanti kehadirannya buat seluruh umat Islam setiap tahun. Kira-kira sebulan dari sekarang juga, umat Islam akan menyambut pula Aidilfitri. Dengan situasi hiba yang sedang kita alami ini, tentunya banyak belanja yang perlu ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Bukan hanya belanja untuk memulihkan barangan dan kelengkapan yang rosak dan perlu diganti baru tetapi persediaan Aidilfitri juga sudah tentunya terjejas. Untuk itu, Parit Yaani menggesa supaya Bantuan Wang Ihsan banjir yang telah diumumkan oleh kerajaan menerusi kerajaan pusat atau pun kerajaan negeri dapat disegerakan dan diberikan baik oleh pihak kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara, mahupun pihak kerajaan negeri sendiri dapatlah juga disegerakan. Segala birokrasi dalam urusan agihan bantuan-bantuan kepada mangsa banjir ini hendaklah
dikurangkan. Kasihanilah mereka, beban di bahu mereka kini sudah cukup berat untuk ditanggung. Janganlah kita menambah lagi beban yang bukan-bukan. Memang menjadi amanah dan tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat dan pemimpin untuk membantu dan meringankan beban buat seluruh bangsa Johor yang memerlukan.
Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Yaani Menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan memohon untuk menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Parit Yaani. Dijemput Yang Berhormat Gambir.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor pada hari ini. Terlebih dahulu patik mewakili keseluruhan rakyat DUN Gambir merafak sembah setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor untuk bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke 15 pada 16 Mac yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam titahnya telah membangkitkan keprihatinan baginda tentang isu banjir yang telah melanda hampir keseluruhan negeri Johor baharu-baharu ini dan hampir keseluruhan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini sama ada dipihak kerajaan mahupun dipihak pengimbang kerajaan telah mengambil bahagian dalam perbahasan kali ini turut menyentuh dan membahaskan isu banjir ini dari pelbagai sudut dan sarat dengan pandangan dan cadangan.
Sesungguhnya saya senada dan bersetuju dengan semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan. Malah, saya berkongsi kesedihan yang sama apabila lebih kurang 300 keluarga yang dipindahkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara di DUN Gambir. Saya mengucapkan syabas dan tahniah, jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah segera turun ke lokasi menyalurkan bantuan dan mengusahakan peruntukan tambahan. Begitu juga syabas dan tahniah kepada semua agensi yang terlibat termasuk juga badan bukan kerajaan dan juga individu orang perseorangan yang tampil menghulurkan bantuan. Mungkin tidak keterlaluan jika saya menyifatkan bahawa pengurusan bencana banjir di Johor ini lebih hebat, lebih baik malah jauh lebih tersusun berbanding negeri-negeri lain. Dan ini menunjukkan kepimpinan negeri sedia ada benar-benar bersedia untuk bersama dengan rakyat pada ketika susah dan senang. Tidak terhad pada ketika tawa ria, gelak ketawa malah mereka tetap bersama ketika rakyat menggugurkan titisan air mata mengenang nasib ditimpa musibah.
Saya merakamkan jutaan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan seluruh kepimpinan negeri yang telah mengambil langkah segera dalam mengumumkan dan melaksanakan 7 inisiatif bagi mengurangkan impak banjir di negeri ini yang menelan perbelanjaan ratusan juta ringgit. Keprihatinan kerajaan pusat melalui Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dalam menyalurkan bantuan segera kepada negeri Johor sangat-sangat kita hargai. Begitulah natijahnya apabila kerajaan ini stabil, apabila kerajaan negeri dan kerajaan pusat berada dalam keadaan stabil yang mana isu-isu, akhirnya isu-isu dan permasalahan rakyat dapat ditangani secara segera dan bersama-sama. Justeru kepada seluruh bangsa Johor teruskanlah mengekalkan kerajaan negeri sedia ada yang jelas berpaksikan kepada kestabilan demi kemakmuran masa depan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini agar dalam fasa pemulihan pasca banjir ini kerajaan negeri membuat semakan semula terhadap kemudahan-kemudahan sedia ada di PPS di seluruh negeri, peruntukan-peruntukan tertentu
harus disediakan dan disalurkan kepada PPS ini untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan sedia ada untuk kegunaan hakiki PPS tersebut dan persediaan untuk menerima mangsa-mangsa banjir pada masa akan datang. Dukacita dimaklumkan, terdapat PPS yang mempunyai fasiliti bilik air yang agak tidak sesuai dan tidak kondusif untuk digunakan seperti pintu tandas yang rosak, ketiadaan tandas duduk, ketiadaan kipas angin dan sebagainya. Malahan, ada dewan-dewan terbuka PPS yang mengalami kerosakan bumbung, salur air dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini terhadap isu pembekalan bahan makanan bermasak, yang dikatakan tidak berkualiti dan tidak menepati masa penghantaran. Mangsa banjir ini bukanlah bersifat demanding, dengan izin tetapi mereka berada dalam keadaan stress, tertekan dan sedih dengan menghantar bekalan makanan yang tidak berkualiti atau tidak sepadan dengan nilai kontrak yang ditawarkan adalah sangat-sangat tidak munasabah. Apatah lagi di sesetengah tempat, masa penghantaran bekalan bermasa ini terlalu lambat. Pohon supaya ianya disemak semula dan ditambah baik pada masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maju Johor sebuah gagasan, satu iltizam serta tekad yang telah dizahirkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk memastikan negeri Johor tercinta ini menjadi sebuah negeri yang maju pada tahun 2030. Ianya berbaki lebih kurang 7 tahun daripada sekarang. Ia adalah sebuah gagasan yang mahu dicapai bukan sahaja oleh kerajaan negeri dan juga penjawat awam malah perjalanan menuju ke sebuah negeri yang maju menjelang 2030 ini harus dikongsi matlamatnya, kesungguhannya, kepayahannya, keinginannya dan keazamannya oleh seluruh Bangsa Johor. Sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam beberapa siri ucapan saya sebelum ini, Maju Johor ini harus tidak meminggirkan mana-mana wilayah dan daerah, harus membawa daerah-daerah kecil untuk maju seiring bersama demi Johor, demi sebuah kelangsungan dan survival Bangsa Johor. Usaha dan hasrat ini harus dirasai denyut nadinya oleh seluruh rakyat Johor.
6 teras yang dibentangkan harus disertai dengan indeks penunjuk prestasinya. Bentangkan kepada rakyat perjalanan negeri ini menuju kemajuan, rakyat harus merasai langkah-langkah yang telah disusun, rakyat harus merasai nikmatnya, rakyat wajar didedahkan dengan segala kepayahannya dan rakyat harus memahami bahawa perjalanan menuju sebuah negeri maju menjelang 2030 adalah sebuah misi bersama. Satu keinginan dan cita-cita yang harus dikongsi bersama. Persoalannya, adakah hari ini seluruh Bangsa Johor mengetahui, memahami, merasai keazaman dan cita-cita ini? Jentera penerangan negeri harus lebih kreatif dalam menerobos pemikiran rakyat, harus lebih proaktif dalam menarik perhatian khalayak dan audiens bukan lagi sekadar selesa dengan method penyampaian yang konvensional dan kandungan siaran bertaraf biasa-biasa sahaja.
Tiap apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, setiap idea dan perancangan serta pelaksanaan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh barisan EXCO Kerajaan Negeri perlu berulang kali ditular dan ditayangkan agar seluruh Bangsa Johor merasai keazaman dan cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara maju, negeri maju menjelang 2030. Kita tidak mahu anasir-anasir luar menuba pemikiran rakyat sehingga tertanam dalam pemikiran mereka bahawa kerajaan hari ini sebuah kerajaan yang gagal, kerajaan negeri yang tidak berbuat apa-apa, kerajaan negeri yang tidak efektif. Walhal, dalam kebanyakan perkara, dalam kebanyakan isu kerajaan negeri Johor terbukti jauh lebih efisien berbanding negeri-negeri lain. Apakah kita mahu akhirnya nanti rakyat Bangsa Johor menghukum kita dengan mengatakan Maju Johor sekadar satu retorik yang dilaung-laungkan tetapi tiada usaha untuk merealisasikannya. Pada hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kerja bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ia perlu dilihat telah dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam Pembukaan Rasmi Persidangan ini telah antara lain bertitah, saya petik titah tersebut ‘sehubungan itu
juga, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah-sekolah dan di pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan’. Gambir menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor ini, sesungguhnya pendidikan merupakan titik pertama untuk memastikan negeri ini diwarisi oleh mereka yang benar-benar mampu untuk meneruskan tradisi kecemerlangan Bangsa Johor selama ini. Perubahan dan dinamika dalam dunia pendidikan begitu pantas, pelbagai dasar baharu diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan kualiti pendidikan Malaysia tidak ketinggalan dengan arus perubahan malah setanding dengan negeri-negeri lain.
Persoalannya, sejauh mana Johor mendepani perubahan dalam bidang pendidikan ini? Sejauh mana kita berkolaborasi bagi meningkatkan kemudahan yang ada di sekolah-sekolah dalam negeri Johor? Sebagai contoh, berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk penyediaan makmal komputer, robotik dan sains, teknologi kejuruteraan dan matematik bukan sesuatu yang murah dan memerlukan kos tinggi. Makmal komputer misalnya telah wujud sejak tahun 2000. Tetapi, adakah kita bila sebut tentang komputer ini bolehkah kita masih lagi menggunakan komputer yang telah ketinggalan zaman? Begitu juga dengan teknologi, kita perlukan alatan dan teknologi yang baharu dengan bantuan PdP seperti pada ketika ini iaitu papan elektronik.
Semua ini, mahu tidak mahu kita kena bantu pihak sekolah untuk sediakan. Ianya merangkumi aplikasi untuk digunakan oleh para pelajar dan guru sekali gus, memastikan ia dapat dimanfaatkan sama ada pelajar di luar bandar ataupun di bandar ataupun di luar bandar. Malah penyediaan kemudahan PdP yang bercirikan teknologi digital dan autonomi bukan sahaja diperlukan di sekolah, malah sekolah yang menyediakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional juga perlu disediakan. Sekiranya kerajaan mahu melihat, sebagai contoh bidang pertanian mengaplikasikan teknologi digital, pelaburan bagi menyediakan kemudahan dan teknologi terkini perlu bermula di peringkat persekolahan lagi. Justeru saya menyeru kerajaan Johor perlu ke hadapan dalam memacu sekolah-sekolah di Johor untuk melengkapkan kemudahan-kemudahan ini bagi menjayakan hasrat menjadikan Johor sebagai nombor satu dalam bidang pendidikan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membawa sedikit isu kawasan, yang saya fikir perlu diambil perhatian oleh kerajaan negeri. Sebagaimana yang saya sering sebutkan kemajuan dan pembangunan yang ingin dicapai dan dibawa oleh kerajaan negeri harus tidak meminggirkan people happiness. Apalah gunanya kemajuan tetapi rakyat berduka lara? Apalah maknanya sebuah pembangunan jika rakyat berdukacita?
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu pertama ialah isu monyet liar dan anjing liar serta haiwan-haiwan liar yang lain, yang mengganggu kehidupan rakyat. Isu ini telah sering kali dibangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini termasuk oleh rakan-rakan Ahli Dewan yang lain dan saya mohon satu tindakan bersepadu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan jabatan berkaitan agar masalah ini dapat diselesaikan. Alasan-alasan seperti kekangan peruntukan, kekangan undang-undang diharap tidak lagi digunakan pada ketika rakyat mengharapkan satu penyelesaian yang tuntas terhadap isu ini. Hampir semua kampung di DUN Gambir mengadu tentang perkara ini dan saya benar-benar merayu kerajaan negeri dan jabatan berkaitan dapat mencari jalan penyelesaian yang baik dan komprehensif.
Isu kedua adalah Klinik Kesihatan Bukit Gambir. Saya merayu kepada YB EXCO kerajaan negeri agar dapat mengusahakan segera pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Gambir. Saya sedikit kecewa apabila posting YB EXCO yang menghadap ataupun berjumpa YB Menteri Kesihatan tidak memasukkan pembinaan semula Klinik Kesihatan Bukit Gambir dalam senarai perbincangan. Begitu juga dalam pembentangan bajet kerajaan pusat baru-baru ini, tidak memasukkan peruntukan untuk pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Gambir.
Isu yang ketiga adalah tekanan air rendah di Kampung Temenin Bukit Gambir dan kawasan sekitarnya. Saya sering menerima aduan, malah pada hari semalam juga terima aduan berkenaan isu tekanan air yang rendah di kawasan ini dan kawasan sekitarnya sehingga bekalan air sentiasa terputus. Wakil SAJ Ranhill, dalam jawapan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah menyatakan bahawa perancangan mengatasi masalah ini adalah dengan membina sebuah tangki air baharu bagi membekalkan air terawat di kampung tersebut. Saya mohon kepada EXCO yang berkaitan agar dapat memberikan jawapan dalam sesi penggulungan nanti bilakah tangki air tersebut dapat dibina? Isu ini telah lama berlaku. Bayangkan rumah kita secara tiba-tiba tiada air. Adakah kita akan gembira dengannya Yang Berhormat Datuk Speaker? Berapa lama lagi terpaksa penduduk-penduduk kampung ini menunggu, menunggu dan menunggu? Kebetulan saya duduk sebelah YB DUN Bekok dan isu sama juga kita kongsi bersama. (Dewan bertepuk.) Jadi, saya mohon ianya dilaksanakan sebelum akhir penggal kita pada kali ini.
Yang seterusnya saya ingin merayu kepada YB EXCO Sukan berkenaan isu menaik taraf sekurang-kurangnya sebuah gelanggang futsal di Bukit Gambir untuk menjadi gelanggang futsal berbumbung. Selaku Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia yang telah disahkan jawatan, saya sangat percaya YB EXCO sangat memahami kehendak orang-orang muda terutamanya di kawasan luar bandar. Saya mohon agar ianya juga dapat dijawab dalam sesi penggulungan EXCO nanti. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir mohon menyokong. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Dewan mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada kawasan DUN Maharani seramai 2 orang. Dewan mengalu-alukan kehadiran mereka.
Seterusnya Yang Berhormat Bentayan, dijemput.
Selamat petang. Salam sejahtera Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan ingin mengambil bahagian untuk membahas usul Menjunjung Kasih Ke atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Bentayan ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi menyampaikan titah Baginda kepada Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir besar yang melanda seluruh daerah di Johor baru-baru ini telah mengakibatkan kira-kira 80,000 mangsa banjir terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara terutamanya di Muar, Mersing, Batu Pahat dan Segamat. Kita kini berada dalam era perubahan iklim yang tidak dapat dielakkan. Dahulu pada bulan Mac, Johor menghadapi kekeringan tetapi tahun ini negeri Johor mengalami banjir yang sangat teruk dan luar biasa. Tahun 2023 telah memasuki bulan April, namun Johor telah mengalami banjir sebanyak dua kali iaitu pada awal tahun dan bulan April. Projek tebatan banjir amat penting untuk mengatasi masalah banjir. Oleh itu, Bentayan memohon penjelasan daripada kerajaan mengenai mengapa Projek Pemulihan Sungai Muar dan Projek Saringan Mesra Alam Bandar Maharani di bawah RMK-12 telah ditangguhkan. Sistem perparitan juga perlu dibersihkan dan diselenggarakan secara berkala.
Walau bagaimanapun, peruntukan pembangunan JPS telah dikurangkan daripada RM40 juta pada tahun 2022 ke RM30 juta pada tahun 2023. Bentayan ingin menarik perhatian kerajaan negeri bahawa peruntukan JPS seharusnya meningkat bukan menurun memandangkan banjir kerap berlaku di Johor. Selain daripada pelaksanaan projek tebatan banjir oleh JPS dan penyelenggaraan sistem perparitan oleh JPS dan PBT, banyak bandar di dunia kini beralih daripada pertahanan banjir semata-mata kepada konsep ketahanan air yang lebih besar dengan melaksanakan pendekatan berpusat. Sistem perparitan sekarang hanya mampu menampung taburan hujan sebanyak 60mm sejam jika taburan hujan sejam
melebihi 60mm selama dua hingga empat jam, risiko banjir akan meningkat. Berdasar data JPS, taburan hujan di banyak tempat di Johor Utara telah melebihi 150mm. Namun pembinaan longkang yang mampu menampung taburan hujan lebih daripada 150mm tidak praktikal dan tidak kos efisien.
Agensi-agensi kerajaan perlu memastikan perancangan dan reka bentuk sesuatu bandar atau taman perumahan serta kediaman mengambil kira keadaan yang ditakrifkan sebagai kawasan banjir agar setiap rancangan lebih responsif terhadap alam semula jadi. Oleh itu, konsep Bandar Span yang mengutamakan penyerapan, penyimpanan dan pemprosesan air hujan perlu diintegrasikan dalam fasa perancangan dan pembinaan bandar untuk mewujudkan bandar yang sensitif terhadap air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tindakan drastik keseluruhan kerajaan perlu diambil dengan membentuk satu jawatankuasa khas di peringkat negeri yang merangkumi EPU, BPEN Johor, PlanMalaysia, JPS, JKR, JAS, METMalaysia, IKRAM dan PBT. Jawatankuasa ini bertujuan untuk menyelaras semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta mengkaji pelan tindakan bagi melaksanakan konsep Bandar Span. Sebagai contoh, sumber alam seperti sungai, jeram, kolam, parit dan tali air perlu dipelihara dan dirizabkan dalam pembangunan bandar untuk melambatkan kelajuan aliran air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan hijau menjadi semakin mengecil dan landskap baru turut diturap dengan tar akibat pembangunan bandar. Oleh itu, infrastruktur biru yang merujuk kepada unsur air seperti sungai, terusan, kolam, tanah lembap, dataran banjir dan kemudahan rawatan air serta infrastruktur hijau yang mencakupi pokok, rumput, taman padang dan hutan perlu dipelihara atau dibangunkan ditanam semula bagi mengurangkan jurang pengaliran air ke sistem perparitan. Pembinaan bio waste atau saluran tanah berhumus dengan rumput dan vegetasi lain serta sistem pengekalan bio perlukan agar air dapat diserap atau disimpan di bawah tanah.
Bentayan mengalu-alukan cadangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mewajibkan semua pemaju menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal untuk mendapatkan Kebenaran Merancang. Bentayan mencadangkan pembinaan jalan berliang atau permukaan yang dapat menampung lalu lintas kereta, pejalan kaki dan basikal dengan bahan yang membolehkan air diserap meresap dan mengisi semula air bawah tanah. Mengelakkan takungan air di atas jalan dan mengakibatkan keboleh serapan air hujan. Kolam takungan air yang berfungsi untuk menyimpan dan menakung air sementara dari sistem perparitan sebelum mengalir ke sungai perlu dirancang awal dan rizabkan sebelum memulakan pembangunan projek.
Ini tidak boleh dikembangkan sewenang wenangnya untuk pembinaan bangunan komersil perumahan yang tidak selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah untuk mengurangkan risiko banjir. Usaha-usaha ini bertujuan untuk mengurangkan beban sistem perparitan ketika hujan lebat berterusan sehingga mencegah banjir kilat dan meningkatkan ketahanan bandar terhadap banjir. Sistem birokrasi dan pendekatan dalam menghadapi banjir harus diubah untuk mengatasi kesan perubahan iklim yang kian serius. Pembangunan projek perlu diperiksa secara menyeluruh melalui pusat OSC dan kerajaan tidak seharusnya meluluskan projek tanpa mempertimbangkan kesan terhadap risiko banjir dan kesesakan lalu lintas. Projek yang sedang dibina harus dipantau dengan ketat dan cuma untuk memastikan semua pembangunan mengikuti pelan asas yang telah diluluskan. Tindakan yang melibatkan pelbagai jabatan atau agensi kerajaan perlu dilaksanakan secara efektif dan berkesan demi mengatasi isu banjir secara menyeluruh dan efisien.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang Januari dan Februari tahun ini, kawasan Bentayan telah mengalami gangguan bekalan air sebanyak 6 kali dalam tempoh 40 hari disebabkan masalah kebocoran paip lama. Sebanyak 8,312 akaun yang melibatkan 6
kawasan telah terjejas. Pernah juga 2 kali terjadi insiden di mana berlakunya kebocoran paip sebanyak 2 kali pada hari yang sama di kawasan yang sama. Masalah kebocoran paip lama bukan sahaja memberi impak kepada air tidak berhasil atau NRW yang merugikan SAJ tetapi juga turut mendatangkan kesan kepada pengguna. Sebagai contoh, golongan penjaja terpaksa menutup gerai lebih awal dan pengusaha salon rambut yang terpaksa membatalkan temu janji kerana tiada bekalan air. Menurut statistik kekerapan kes gangguan bekalan air di negeri Johor adalah sebanyak 3,961 kes pada tahun 2020. 3,904 kes pada tahun 2021 dan 3,144 kes setakat Ogos 2022. Punca utama kepada gangguan bekalan air adalah masalah kebocoran paip yang merangkumi 96.2% daripada keseluruhan kes pada tahun 2020 dan 96.4% pada tahun 2021. Menurut data yang dikeluarkan pada tahun 2018, daerah Muar mempunyai rangkaian paip sepanjang 1,958 km di mana 35% atau 685.3 km daripadanya terdiri daripada paip jenis AC yang telah berusia lebih daripada 40 tahun. Setakat tahun 2017, hanya 110 km atau 16% daripada panjang keseluruhan paip AC yang telah diganti. Berdasarkan maklumat yang diterima, sasaran Ranhill SAJ yang pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip di daerah Muar untuk tahun 2022 dan 2023 adalah sepanjang 13 km. Dengan kadar kemajuan seperti ini, Bentayan ingin bertanya berapa lama masa yang diperlukan untuk mengganti sepenuhnya keseluruhan paip AC di daerah Muar?
Pada Jun 2022 yang lalu, kerajaan persekutuan telah meluluskan kenaikan tarif secara purata 25 sen per meter padu untuk penggunaan bukan domestik yang berkuat kuasa mulai Ogos tahun yang sama. Menurut Maybank Investment Bank, kenaikan tarif air di Johor bermula Januari 2023 mungkin akan menggandakan keuntungan bersih Ranhill Utility Berhad bagi Tahun Kewangan 2023. Dalam Belanjawan Tahun 2023, peruntukan sebanyak RM280 juta telah dilaburkan untuk kerja-kerja menggantikan paip lama sepanjang 234 km. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM937 juta yang telah dibelanja untuk tujuan sama dalam tempoh 5 tahun. Sehubungan dengan ini, Bentayan menyeru SAJ supaya terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan menambahkan lagi peruntukan untuk mempercepat proses penggantian paip lama supaya gangguan bekalan air dapat dikurangkan. Bentayan percaya dengan usaha ini kadar air tidak berhasil atau keuntungan Ranhill SAJ juga akan bertambah baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) merupakan salah satu program yang memerlukan penglibatan secara aktif oleh ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga kepada golongan kurang upaya bersama komuniti setempat untuk membantu golongan ini hidup berdikari dan diintegrasikan dalam masyarakat. Setiap pelatih yang mengikut program pemulihan di PDK akan dibayar elaun khas bulanan sebanyak RM150.00 seorang. Semua urusan pembayaran elaun ini dibuat menerusi jawatankuasa PDK melalui geran pengurusan PDK yang diberikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat setiap tahun mengikut kelayakan. Kita sepatut menggalak golongan OKU untuk menyertai PDK dan bukan hanya duduk sahaja di rumah. Ini adalah penting supaya mereka dapat mempelajari kemahiran untuk menjaga diri sendiri di samping dapat menjana pendapatan tambahan untuk keluarga. Sebagai contoh, kita lihat bantuan JKM untuk golongan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan bulanan sebanyak RM300.00 akan diberi. Manakala untuk elaun khas OKU PDK hanya RM150.00 sebulan. Perbezaan RM150.00 sebulan telah menyebabkan ramai ibu bapa atau ahli keluarga kurang berminat untuk menghantar anak-anak, OKU mereka untuk menyertai PDK sebab yang menjadi pelatih PDK tidak layak untuk menerima bantuan RM300.00 daripada JKM. Justeru adakah pihak kerajaan boleh meningkatkan elaun khas OKU kepada RM300.00 atau lebih supaya lebih ramai golongan OKU bermotivasi untuk menyertai PDK yang menyediakan program pemulihan secara percuma untuk meningkatkan tahap penjagaan diri dan kemahiran.
Akhirnya Bentayan ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa yang terkesan daripada bencana banjir kali ini dan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi persekutuan, negeri, NGO,
sukarelawan dan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam membantu mangsa banjir di negeri Johor. Sekian terima kasih.
Terima kasih Bentayan. Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Selawat) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam, demikian juga limpahan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW semoga kita mendapat syafaat dan rahmat kelak. Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya izinkan patik mewakili DUN Pasir Raja merafak sembah menjunjung kasih atas titah DiRaja oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar khas pada pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang ke-15. Pasir Raja juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan EXCO sempena genap setahun mentadbir kerajaan Johor. Tahniah, telah membawa Johor ke tahap yang terbaik ketika ini. Umpama condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan. Terima kasih kerana sentiasa mendengar aduan rakyat dan rajin turun padang bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama sekali izinkan Pasir Raja merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk menyatakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus serta mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan ini. Diharapkan agar apa yang akan dibahaskan ini mampu memberi manfaat dan melakukan yang terbaik khusus buat warga DUN Pasir Raja dan juga bangsa Johor amnya. Ibarat pohon yang rendang di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
Yang Berhormat Datuk Speaker negeri Johor yang kita kasihi ini dilanda duka apabila bencana banjir besar telah berlaku dan rakyat menerima kesannya. Ada yang kehilangan wang ringgit, harta benda dan ada juga yang kehilangan orang tersayang. Apa yang datang adalah ujian Allah SAW, tidak kecil tidak besar, kita kena menerima sesuatu yang tidak dijangka. Semoga keadaan segera pulih dan kembali kepada sedia kala. Semoga semua mangsa-mangsa banjir diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian bencana ini, insya-Allah.
Pasir Raja mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada skuad Pengurusan Bencana DUN Pasir Raja. Skuad Bencana DUN Pasir Raja telah menjadi barisan hadapan membantu agensi-agensi kerajaan ketika berlaku banjir baru-baru ini. Mereka terlibat secara langsung dari mula memindahkan mangsa, membantu, menjaga kebajikan mangsa banjir sepanjang berada di PPS sehinggalah PPS ditutup. Terima kasih skuad Pengurusan Bencana DUN Pasir Raja yang dilancarkan pada 29 Oktober 2022. Peranan utama skuad ini ialah membantu setiap agensi berkaitan untuk mengurangkan impak bencana seminima mungkin kepada warga setempat yang terlibat. Ia turut berperanan memberi perkhidmatan awal kepada komuniti dalam membantu sekiranya berlaku bencana. Terima kasih juga kepada semua agensi yang terlibat di dalam mengurus masa banjir terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Tinggi yang telah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik untuk memastikan segala keperluan dapat disediakan. Bagaimanapun terdapat beberapa kelemahan dari segi penyediaan keperluan yang perlu diteliti untuk penambahbaikan. Antaranya proses membekal makanan yang lambat sampai di PPS dan kualiti makanan yang kurang memuaskan.
Oleh itu Pasir Raja mencadangkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat membenarkan gotong royong dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat untuk memasak makanan mereka sendiri pada masa yang akan datang
jika berlaku musibah seumpamanya. Begitu juga dengan keperluan seperti khemah, selimut dan lain-lain. Pasir Raja mencadangkan agar stok keperluan disimpan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat sebagai persediaan bagi memudahkan urusan mengurus mangsa banjir jika ianya berulang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesan dari hujan yang mengakibatkan banjir baru-baru ini telah menyebabkan berlakunya tebing runtuh di beberapa lokasi di dalam DUN Pasir Raja iaitu di FELDA Bukit Besar dan FELDA Sungai Sayong. Ianya begitu membimbangkan kerana berlaku berhampiran dengan lokasi kediaman. Pasir Raja bimbang jika tidak diambil langkah segera ia akan menjadi lebih serius dan akan menyebabkan kemalangan jiwa. Tanah runtuh bukan isu baru di dalam FELDA. Ia kerap berlaku terutamanya di perumahan generasi kedua FELDA ekoran daripada sistem perparitan yang tidak dibina dan tidak diurus dengan baik. Pasir Raja berharap masalah ini mendapat perhatian sewajarnya. Pasir Raja sedia maklum yang FELDA tidak lagi menyediakan bantuan bagi segala bentuk bencana alam dan kerosakan infra di kawasan lot generasi FELDA. Bantuan bencana sedia ada hanya disalurkan kepada lot kawasan peneroka atas faktor pengurusan penyelenggaraan FELDA iaitu setiap peneroka di dalam rancangan telah mencarum di dalam tabung bencana setiap bulan.
Oleh yang demikian, satu ketetapan perlu dibuat iaitu agensi manakah yang seharusnya bertanggungjawab menangani isu tersebut. Selain daripada tanah runtuh yang berlaku di perumahan peneroka dan generasi kedua FELDA terdapat satu kes tanah runtuh di jalan masuk FELDA Pasir Raja yang masih belum diambil sebarang tindakan. Hampir setahun lebih kawasan tersebut hanya ditandakan dengan kun dan tali pita merah AWAS. Ianya sangat merbahaya terutamanya pada waktu malam. Bagai berseru di padang pasir, aduan bertulis sudah dibuat, aduan bergambar sudah dihantar, namun tiada tindakan yang diambil sehingga hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, secara umumnya masyarakat hari ini melihat masjid dan surau sebagai tempat ibadah khusus dalam kehidupan Muslim. Persepsi sedemikian perlu dimurnikan agar seluruh masyarakat memahami konsep sebuah masjid dan menyedari pentingnya peranan sebuah masjid dalam membangunkan ummah. Masjid dan surau bukan sekadar lambang dan syiar dalam kehidupan masyarakat Islam, malahan lebih penting dari itu di mana masjid adalah nadi dan pusat kegiatan aktiviti umat Islam. Oleh itu Pasir Raja memohon agar sebuah masjid dibina di Taman Daiman Jaya, taman yang telah berusia 10 tahun lebih ini masih belum mempunyai masjid dan penduduknya terpaksa berulang alik sejauh 3 kilometer untuk menunaikan solat Jumaat di luar kariah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mempunyai jalan raya yang memang baik menjadi dambaan sesiapa sahaja tidak kiralah di mana negara pun. Jalan raya yang dijaga baik permukaan yang rata dan tidak berlubang-lubang boleh menjamin perjalanan harian para pengguna sentiasa lancar. Bukan itu sahaja kualiti jalan juga boleh menentukan hidup dan mati seseorang pengguna, sampai di rumah disambut senyum tawa atau air mata oleh keluarga. Memang tiada siapa pun dapat menafikan kepentingan untuk sentiasa memelihara kualiti jalan-jalan yang ada.
Pasir Raja sering menerima aduan jalan FT003 Jalan Johor – Kota Tinggi atau lebih spesifik jalan FT 003 antara Ulu Tiram sehingga simpang lampu isyarat Kem PULADA, jalan yang berlubang-lubang menjadi punca kerosakan kepada kenderaan dan menyebabkan keadaan yang tidak selamat untuk semua pengguna. Apabila aduan dibuat tindakan segera yang diambil hanyalah menampal kawasan yang berlubang. Terima kasih kepada JKR Kota Tinggi tetapi cara demikian tidak menyelesaikan masalah kerana dalam tempoh masa tertentu pasti kerosakan yang sama akan berulang. Pasir Raja ingin memohon agar diberi keutamaan untuk diturap semula.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi jalan yang perlu disegerakan kerja-kerja menaik taraf yang melibatkan pembetungan ialah Jalan Seluang, Kampung Desa Mahkota Rantau Panjang. Pasir Raja difahamkan peruntukan telah diluluskan. Pasir Raja mendesak kerja-kerja dapat disegerakan memandangkan laluan tersebut adalah laluan utama penduduk kampung ke kebun mereka. Kerosakan jalan juga semakin serius selepas bencana banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker sektor pelancongan merupakan sebuah industri yang menguntungkan bukan sahaja dari aspek ekonomi sesebuah negara malahan ianya juga mampu memberi impak positif dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi serta memenuhi keperluan sumber manusia dengan tenaga kerja yang ujud daripada industri ini. Bagi menangani krisis kemiskinan yang semakin meningkat dan bebanan kos sara hidup yang saban tahun membebani kehidupan masyarakat, maka satu solusi sedang dilakukan bagi mengurangkan impak jangka panjang terhadap kemelut ini.
Satu projek berimpak tinggi yang diberi nama projek Lacara Dimalayos yang dibangunkan di Kampung Sungai Telor oleh Koperasi Jaringan Insani Wasatiyah Johor Berhad yakni KOJIWA sedang berlangsung dan dilaksanakan bagi menjadikan kawasan setempat sebagai destinasi tumpuan kepada pelancong hasil dari terujudnya tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Diharapkan dengan limpahan tersebut akan mewujudkan kuasa beli yang akan memanfaatkan seluruh warga kampung.
Antara tempat-tempat menarik yang sedang dibangunkan ialah taman tema air, penginapan, river cruise dengan izin di Sungai Johor, aktiviti menghasilkan produk kraf berasaskan pertanian, tapak perkhemahan, ATV dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik. Dengan pelaksanaan projek ini ia akan memberi peluang perniagaan kepada lebih 80 orang pengusaha dari pelbagai bidang, sekali gus memberi limpahan kepada penduduk setempat dan menaikkan martabat Insani sekali gus dapat menyelesaikan masalah ekonomi serta dapat memberi input tambahan dari aspek pendidikan dan spiritual.
Besarlah harapan Pasir Raja agar projek Edu Agro Tourism ini dengan izin, mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya daripada kerajaan negeri Johor. Pasir Raja juga dengan rendah hati menjemput Tenggaroh, EXCO Pelancongan dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor datang melawat dan melihat sendiri projek yang diusahakan 100% oleh warga kampung Kampung Sungai Telor, semoga dengan lawatan ini mereka akan lebih bermotivasi untuk segera menyiapkan projek tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara isu yang hangat diperbincangkan setiap kali bertemu rakyat ialah kenaikan harga barang keperluan dan ketidaktentuan adanya bekalan barangan. Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah faktor yang menjadikan kemampanan ekonomi menjadi sangat tidak stabil tetapi ia menjadi masalah besar rakyat terutama yang berpendapatan rendah B40 dan mereka yang bergantung hidup kepada ekonomi jenis perniagaan secara kecil-kecilan. Antara barangan yang menjadi tumpuan utama dalam isu tersebut seperti telur, minyak makan dan gula pasir juga mungkin beberapa barangan lain yang menjadi keperluan asas seperti tepung gandum dan seumpamanya. Dengan kemungkinan berlaku kenaikan mendadak harga minyak, bahan api dan sumber tenaga ia dilihat sangat berpotensi untuk meningkatkan lagi impak kenaikan harga barang dan kestabilan bekalan. Lebih-lebih lagi menjelang perayaan hari raya nanti. Bukan sahaja harga barangan makanan dalam negara naik, bahkan turut membabitkan kenaikan harga barangan lain, ia umpama kesan domino dalam rantaian ekonomi.
Kenaikan harga barang ini bukan isu terpencil, bahkan boleh menjadi bom jangka ekonomi. Malah kenaikan harga ayam, telur, ikan laut, ikan air tawar, sayur-sayuran serta barangan makanan lain amat meresahkan dan membimbangkan rakyat secara keseluruhannya. Jika barang terus meningkat, ia akan memberi kesan besar kepada pengguna terutama golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000.00 sebulan. Jadi, kerajaan
perlu memastikan pengguna terutama yang berpendapatan kurang RM2,000.00 ada cukup makanan atas meja mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menu rahmah adalah matlamat jangka pendek untuk menangani isu ini tetapi ia dilihat sebagai inisiatif kerajaan pusat untuk menampan isu tersebut. Walaupun ia bukanlah satu penyelesaiaan menyeluruh, namun Pasir Raja mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat atas cakna mereka terhadap kesusahan rakyat. Matlamat jangka pendek adalah menstabilkan harga dan memastikan barang sentiasa ada di pasaran. Matlamat jangka sederhana pula adalah menurunkan harga, manakala matlamat jangka panjang adalah meningkatkan pendapatan pengguna. Itu lebih penting.
Pasir Raja, masa.
Sikit lagi. Kalau kawal harga tetapi pendapatan tidak meningkat, pengguna akan kecewa kerana tidak apa-apa perubahan terhadap kos sara hidupnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pasir Raja menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mahukan semua ADUN saling bekerjasama, bagai aur dengan tebing, menjaga kebajikan bangsa Johor. Ibarat telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semua. Marilah kita mengetepikan sentimen politik demi kestabilan dan kemajuan negeri Johor yang kita sayangi. Akhir kata, Pasir Raja mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Marilah kita sama-sama memanjatkan syukur dan doa, mudah-mudahan Allah SWT akan terus melimpahkan rahmat pelindungan dan peliharaanNya ke atas negeri Johor dan naungan keselamatan, keamanan dan kemajuan. Sekian dan terima kasih, Pasir Raja mohon menyokong. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk)
Terima kasih Pasir Raja. Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Senggarang dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjungkan setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, berkenan mencemar duli berangkat ke istiadat dan bertitah menyempurnakan majlis perasmian di Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 ini. Senggarang juga turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah bertitah agar pihak kerajaan pusat dapat memberikan peruntukan khas untuk membaik pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang telah musnah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti Yang Berhormat Sri Medan dan Yang Berhormat Parit Raja, berbahas mengenai banjir. Senggarang turut ingin menzahirkan perkara yang sama meskipun Senggarang hanya mengalami tempias banjir tersebut. Namun ia turut menjejaskan beberapa kampung di kawasan Senggarang hingga menyebabkan dua buah PPS turut dibuka. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, meskipun jumlah mangsa di kedua-dua PPS dalam DUN Senggarang hanyalah mencatatkan sebanyak 129 keluarga dan hanya seramai 598 orang. Namun, saya turut merasakan kelelahan walaupun hanya baru dibuka pada 10 Mac 2023 berbanding di kawasan Sri Medan dan Parit Raja serta di beberapa kawasan yang lain yang lebih teruk.
Senggarang juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah membantu rakyat ketika menghadapi situasi banjir, tidak kira sama
ada agensi kerajaan, swasta mahupun pertubuhan-pertubuhan. Ini termasuklah khususnya Pegawai Daerah Batu Pahat, Pengarah JKM Negeri Johor, YDP Majlis Perbandaran Batu Pahat, JKR Batu Pahat, PDRM, Bomba dan Penyelamat Batu Pahat, APM, JKM, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Islam Daerah, Pejabat Kadi, KKM, SWCorp, JPS, Jabatan Penerangan, MAIJ serta Southern Volunteers. Tidak lupa pihak SAJ yang memberi bekalan tong simpanan dan bekalan air bersih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang berharap pihak kerajaan negeri dan pusat dapatlah bersama-sama dalam membantu mangsa-mangsa banjir untuk bangkit daripada kepayahan mereka menghadapi situasi banjir ini. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut. Jika di tempat-tempat lain ada yang pertama kali dinaiki air banjir namun di Senggarang, masalah banjir ini berlaku hampir setiap tahun dan hingga ke hari ini masih dapat dirasai dan tidak dapat diatasi. Mungkin agak kalis jika Senggarang acap kali mengutarakan berkenaan isu penggalian parit namun jika ia tidak diutarakan, masalah ini akan menyebabkan aliran air lembap hingga menyebabkan kawasan yang dibanjiri lambat surut airnya dan ia menghadapi masalah air termenung. Sehubungan dengan itu, pihak JPS diharap dapat menggali, mendalamkan parit-parit yang sedia ada yang terlibat dengan masalah tersebut.
Pada sesi Persidangan DUN tahun lalu, Senggarang ada membangkitkan isu keperluan pam air di pintu-pintu gate air di Senggarang memandangkan Senggarang merupakan kawasan yang terakhir akan dilanda banjir berikutan air banjir yang turun dari Parit Raja dan Parit Yaani berikutan Senggarang adalah kawasan yang berhampiran dengan laut. Di kesempatan ini, Senggarang merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor kerana sudi datang ke Senggarang untuk melawat tempat pengepaman air di pintu air Sungai Senggarang pada 17 Mac yang lalu.
Alhamdulillah, Senggarang mengucapkan syukur kerana beberapa buah negeri telah memberikan bantuan pam air sebanyak 5 buah bagi menyedut air di pintu air Senggarang untuk mempercepatkan aliran air banjir ke laut. Dan setelah lawatan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang lalu terdapat 2 buah pam air lagi telah didatangkan di pintu air berkenaan. Dan setelah kehadiran pam air ini, nampaknya paras air semakin berkurangan. Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri Kedah dan Perak kerana telah memberi bantuan pam air dengan menempatkannya di pintu gate air Parit Hailam dan juga pintu air Senggarang. Tidak lupa kepada tenaga kerja serta petugas JPS yang bertungkus lumus mengendalikan pam-pam berkenaan.
Justeru, Senggarang berharap pembinaan rumah pam air kekal yang dipohon dapat di segera kelulusan dan pembinaannya khususnya di pintu air Parit Hailam. Selain isu pam air, pembinaan plate gate di beberapa benteng di Senggarang juga pernah Senggarang utarakan di Persidangan yang lalu, Senggarang mohon untuk ianya turut dapat disegerakan kelulusan dan pembinaannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang mencadangkan satu kajian semula pintu-pintu air di kawasan panas di hot spot berlakunya banjir dilakukan. Ia bagi mengelakkan berlakunya banjir berulang dan menjadikan bencana ini seperti acara ulang tahun. Contohnya melihat upstream dan downstream serta mewujudkan satu badan yang dapat mengkaji penyelesaian masalah bencana seperti Projek Johor Barat yang pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menghadapi pasca banjir, Senggarang seperti juga Parit Yaani mengharapkan bantuan yang disalurkan kepada mangsa dapat dilaksanakan dalam kadar yang segera. Seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, tidak kira dari agensi manapun bantuan itu ia tidak perlu dilengahkan bagi membantu mereka memandangkan kedatangan Ramadan dan bakal menjelangnya hari
raya. Senggarang juga sangat mengharap segala bantuan dari pelbagai pihak seperti yang disebut oleh Parit Raja menekankan peranan Angkatan Pertahanan Awam, Senggarang menekankan peranan yang dilakukan oleh petugas-petugas PDK, PKPDK. Mereka merupakan pertubuhan yang mewakili pihak JKM dalam menyusun atur pembukaan pusat pemindahan PPS khususnya di Senggarang. Merekalah yang mengendalikan keluar masuk mangsa banjir, urusan makan dan minum serta bantuan-bantuan yang diterima. Ini berikutan pihak JKM tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi. Merekalah yang mengambil alih tugas pihak JKM meskipun khidmat mereka tidak didendang memandangkan mereka hanyalah petugas dan penyelia di PKPDK. Tanpa bantuan mereka, maka pengurusan di PPS tidak dapat berjalan lancar. Justeru, Senggarang berharap agar elaun petugas PKPDK ini dinaikkan kepada RM1,500.00. Manakala penyelia mereka dinaikkan kepada RM1,800.00 dengan tempoh masa bekerja yang tertentu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada 12 Julai tahun 2022 yang lalu, Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor dalam lawatannya ke Batu Pahat telah melihat hot spot banjir di Jalan Tanjung Labuh berhadapan dengan PETRONAS dan kuari JKR FT05. Sehingga hari ini, belum ada apa-apa tindakan diambil oleh JKR untuk mengatasi jalan tersebut dan keadaan jalan tersebut sangat teruk. Senggarang berharap agar ada tindakan lanjut akan diambil selepas ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum menamatkan perbahasan di Persidangan pada kali ini, Senggarang ingin menyentuh berkenaan dengan guru-guru agama SAKNJ. Senggarang mohon pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor khususnya Bahagian Pendidikan Islam mengkaji semula penghijrahan guru-guru agama yang telah memiliki ijazah sarjana muda ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini berikutan Jabatan Agama Islam Negeri Johor mengalami kerugian ekoran kehilangan tenaga pengajar yang berpengalaman. Kebanyakan mereka berhijrah ke KPM disebabkan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor tidak dapat menyediakan gred atau laluan khas untuk mereka kekal di Bahagian Pendidikan Islam dan tugas di SAKNJ mahupun di sekolah menengah agama. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri hendaklah mengkaji dan mencari jalan penyelesaian bagi isu berkaitan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kalam Senggarang ingin mengucapkan salam Ramadan pada semua, mohon maaf. Sekian, Senggarang mohon menyokong. Wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan hingga pukul 4.00 petang
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.50 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 4.00 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Dipersilakan Yang Berhormat Bukit Batu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengambil bahagian untuk membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi menyampaikan titah Baginda kepada Dewan yang mulia ini pada 16 Mac 2023. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya memulakan perbahasan hari ini dengan memberi penghargaan kepada semua
Ahli Dewan Undangan Negeri yang hadir di sini. Sebagai Wakil Rakyat, tanggungjawab kita adalah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang kita wakili dan memastikan pembangunan negeri yang berkesan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang saya bangkitkan sekarang adalah masalah yang sudah lama membelenggu rakyat DUN Bukit Batu secara khususnya, bukan satu atau dua tahun. Di DUN Bukit Batu kami mempunyai sebuah projek jalan yang berada dalam keadaan terbengkalai selama lima tahun sehingga kini. Saya telah bertanya soalan mengenai status terkini projek naik taraf selekoh ‘S’ di DUN Bukit Batu yang tergendala lama sejak 2019 dan bila boleh disiapkan memandangkan kenaikan kos mengikut harga semasa sekarang. Projek yang dimaksudkan adalah projek cadangan kerja-kerja memperelok jajaran di laluan FT001 Johor Bahru ke Ayer Hitam, KM30 sampai 40 Kulai – Johor yang juga dikenali sebagai selekoh ‘S’. projek ini telah dilaksanakan oleh kontraktor Empangan Makmur Sdn Bhd dengan tarikh milik tapak asalnya pada 12 Disember 2017 dan dijangka siap pada 19 Jun 2019. Oleh kerana kontraktor asal gagal untuk menyiapkan projek tersebut dan telah mengalami kelewatan sebanyak 549 hari. Ahli-Ahli Yang Berhormat, bukan lima hari, bukan 50 hari tetapi 549 hari. Berdasarkan syarat-syarat kontrak, notis penamatan pengambilan kerja kontraktor telah dikeluarkan pada 21 Oktober 2021. Baki kerja yang perlu disiapkan adalah sebanyak 10% sahaja. Jadi untuk maklumat semua warga Bukit Batu, berdasarkan jawapan yang saya diterima daripada EXCO JKR bahawa jangkaan iklan baru projek ini adalah pada bulan September 2022 dan tarikh penyiapan projek hanya akan diumumkan selepas mendapat kontraktor baru.
Sebelum saya menjadi Wakil Rakyat di Bukit Batu pun isu ini sudah bermula. Rakyat sengsara dan marah kerana keadaan jalan yang sangat teruk dengan adanya penurapan jalan yang tidak lengkap dan sebagainya. Apabila saya menyuarakan isu ini dalam sesi pertanyaan pada bulan Jun tahun lepas, jawapan yang saya dapat adalah JKR sedang dalam proses untuk melantik semula perunding asal bagi menyediakan dokumen tender semula. Seterusnya apabila soalan sama yang ditanyakan pada bulan Disember tahun lepas, saya dimaklumkan bahawa projek tersebut dalam fasa perolehan dan surat setuju terima, SST dijangka akan dikeluarkan sekitar bulan Mac tahun 2023. Kini kita sudah pun memasuki minggu keempat dalam Mac, tapi setakat ini tiada maklumat terbaru mengenai projek terbengkalai ini. Projek tersebut dijangka siap dalam enam bulan hanya jika SST dikeluarkan pada bulan ini. Rakyat berfikir Wakil Rakyat tidak bekerja dalam memperjuangkan isu ini. Namun saya sudah pun memperjuangkan isu ini sejak mengangkat sumpah sebagai Wakil Rakyat DUN Bukit Batu. Penyelesaian isu selekoh ‘S’ adalah salah satu manifesto yang saya janjikan kepada rakyat DUN Bukit Batu. Bukan setakat ini memasuki dalam manifesto saya, tetapi saya telah membuat petisyen, memorandum, kunjungan hormat ke Pejabat MB, EXCO JKR dan site visit bersama JKR Kulai untuk membincangkan proses menyiapkan projek ini dapat diawalkan. Bukan itu sahaja, dalam tempoh menunggu penyiapan projek tersebut, perlu ada, adanya tindakan daripada pihak pengurusan dengan menyusunkan semula, dengan izin, barrier dan meletakkan lampu blinkers supaya dapat mengelakkan kemalangan di jalan tersebut. Jangan membiarkan begitu sahaja kerana jalan tersebut sering digunakan oleh pengguna jalan raya dan berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan. Majoriti daripadanya adalah golongan pekerja yang mencari nafkah untuk keluarga masing-masing. Jadi, sebagai kerajaan negeri yang pro rakyat, dengan rendah dirinya, saya memohon kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar serta EXCO JKR agar membantu mempercepatkan penyiapan projek selekoh ‘S’ pada tahun ini juga.
Ahli Dewan Negeri yang saya hormati sekalian, di DUN Bukit Batu, isu geran kongsi menjadi salah, sering menjadi salah satu isu yang tiada penamatannya. Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 25 keluarga di Kampung Seri Paya, Kelapa Sawit sedang menghadapi masalah geran kongsi setelah mereka menduduki di kawasan tersebut selama 40 tahun. Mereka telah membeli rumah atas tanah geran kongsi pada tahun 1980an pada harga yang
ditetapkan pada masa itu adalah sebanyak RM12,500.00 sahaja, RM12,500.00 sahaja daripada pemilik geran besar. Setiap daripada mereka yang membeli rumahnya telah membayar cukai harta, bil elektrik, bil air selama 40 tahun yang lepas, namun masalahnya timbul apabila mereka mahu menukarkan geran kongsi tersebut sebagai geran individu dengan memecahkan tanah berikut dengan pelan tanah masing-masing, tetapi pemegang amanah bagi geran kongsi tersebut tidak mahu berurusan dengan penduduk-penduduk tersebut.
Jadi keadaan ini lebih merumitkan proses untuk mendapatkan cara penyelesaian. Saya sebagai Wakil Rakyat DUN Bukit Batu juga sudah cuba menghubungi pemegang amanah bagi tanah tersebut, tetapi beliau tidak mahu respons langsung. Para penduduk di Kampung Seri Paya sungguh gelisah akan masa depannya jika tanah mereka dijual tanpa pengetahuan mereka oleh pemegang saham kerana mereka tidak mempunyai geran individu bagi rumah mereka masing-masing. Di tangan saya dengan izin Tuan Speaker, adalah surat borang pengadu di Pejabat Tanah Daerah Kulai. Izinkan saya bacakan pengaduan mereka. Saya seperti nama di atas telah membayar segala cukai dan menunggu selama 40 tahun untuk menuntut geran rumah saya. Minta pihak berkuasa untuk mempercepatkan urusan keluar geran berikut. Inilah penduduk-penduduk Bukit Batu yang susah-susah nak minta geran. Saya berharap Pejabat Tanah Daerah Kulai serta EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ YB EXCO Jafni, Dato’ Jafni dapat membantu mereka supaya isu ini dapat diselesaikan bagi mereka. Saya juga mengalu-alukan kunjungan YB Dato’ EXCO, Dato’ Jafni ke kawasan perumahan yang terlibat dalam isu ini untuk memberikan satu gambaran jelas kepada beliau mengenai isu yang dihadapi oleh mereka. Namun kelewatan daripada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengakibatkan kemelut ini tidak dapat diselesaikan sehingga ini.
Seterusnya saya ingin membangkitkan isu soal mengenai cadangan pembinaan crematorium bagi komuniti India di DUN Bukit Batu. Di DUN Bukit Batu, kami mempunyai sebanyak 7% pengundi kaum India secara purata. Kebanyakan daripada komuniti mereka telah mengadu kepada saya bahawa mereka mahukan sebuah crematorium bagi tujuan upacara kematian komuniti India di DUN Bukit Batu. Mereka mahu kerajaan negeri berintervensi dalam cadangan permintaan ini dengan pertimbangkan keperluan mereka. Ini kerana kebanyakan crematorium swasta mengenai caj yang tinggi terhadap upacara yang dilaksanakan oleh komuniti India yang beragama Hindu. Ia sangat membebankan kaum India yang berlatar belakang B40 untuk membayar kos yang tinggi kepada syarikat crematorium swasta. Mereka berpendapat bahawa jika cadangan ini bakal dilaksanakan, ia akan membantu sangat-sangat kepada komuniti India di negeri Johor. Sebagai ADUN Bukit Batu, saya mewakilkan suara mereka di Sidang Dewan negeri ini untuk mencadangkan kerajaan negeri bagi memperuntukkan satu tanah sekurang-kurangnya dua ekar serta dana pembinaan bagi proses pembinaan crematorium Hindu di DUN Bukit Batu. Saya juga faham dan dimaklumkan cadangan ini bukan mudah untuk dilaksanakan. Prosesnya agak rumit, namun dengan adanya intervensi kerajaan negeri, kita boleh melihat perubahan yang diinginkan oleh komuniti India di DUN Bukit Batu. Di bawah kerajaan perpaduan ini saya percaya bahawa tiada golongan minoriti yang dipinggirkan atau ditindas hak mereka di negeri Johor. Saya percaya bahawa semua berhak untuk bersuara, bertanyakan hak mereka.
Baru-baru ini, negeri Johor telah dilanda banjir yang sangat teruk dan ia telah memberikan satu impak yang teruk kepada rakyat Johor yang terlibat dalam dugaan ini. Jumlah mangsa banjir di Johor mencecah lebih daripada 50 ribu orang apabila mangsa-mangsa banjir telah dipindahkan ke 268 buah Pusat Pemindahan Sementara, PPS di seluruh negeri Johor. Bukit Batu juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah dan bersimpati kepada mangsa-mangsa banjir di Johor dan saya percaya kerajaan negeri telah melakukan segala-galanya untuk menjamin keselamatan Bangsa Johor. Mudah-mudahan urusan mereka dipermudahkan dan kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri dapat sama-
sama membantu. Di sini saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan kerana telah memberi peruntukan sebanyak RM210 juta untuk membantu mangsa banjir di negeri Johor.
Sidang hadirin sekalian, jangan kita lupa golongan petani dan penternak juga adalah mangsa banjir apabila mereka dihadapi, mengalami kerugian dalam keadaan yang, apabila mereka dihadapi dengan kerugian besar. Ini kerana banjir berlaku hujung bulan Februari dan awal Mac. Petani-petani baru sahaja mula tanam dan semai tanaman mereka. Jadi mereka telah mengalami kerugian dalam keadaan yang tidak bersedia langsung. Saya ingin mencadang kepada Yang Berhormat Dato’ EXCO Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar bahawa kerajaan negeri boleh melaksanakan sebuah inisiatif dengan memberikan baja kepada golongan pertanian dalam kadar subsidi.
Kesimpulannya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menekankan bahawa kita harus memperhatikan keperluan rakyat kita dan memastikan kebajikan mereka diletakkan di tepat. Saya yakin bahawa dengan bekerjasama, kita dapat mencapai penyelesaian yang efektif bagi isu rakyat dan memberikan kepuasan kepada rakyat yang kita wakili. Saya berharap agar perbahasan kita hari ini dapat menghasilkan keputusan yang positif dan memberi manfaat kepada rakyat negeri Johor kita. Terima kasih kepada semua anggota PDRM, Bomba, APMM, JKN, KKM, NGO dan sukarelawan yang telah membantu dalam usaha bantuan banjir. Ini depan di mata-mata saya tiga hari di Bukit Batu, PPS Bukit Batu, PPS Air Manis, PPS SJKT Oil Palm. Mereka semua ini bertungkus lumus dari pagi sampai malam, tidak putus untuk menolong mangsa-mangsa banjir. Tidak cukup kata-kata untuk menyatakan rasa terima kasih kami atas masa, tenaga dan usaha yang anda berikan untuk membantu penduduk yang terjejas banjir. Saya amat menghargai semangat kerja berpasukan yang telah anda tunjukkan dalam situasi sukar ini. Anda telah membuktikan bahawa dengan kebersamaan dan perpaduan, kita boleh mengatasi cabaran dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Sekali lagi, terima kasih banyak atas kerja keras anda. Semoga Tuhan membalas segala jasa baik anda dan memberi keberkatan dalam kehidupan. Saya seru kepada semua, terima kasih, maju bersama Bukit Batu.
Terima kasih Bukit Batu. Disambung Yang Berhormat Tanjung Surat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Alhamdulillah dengan izin dan inayahNya saya masih lagi berdiri di sini untuk mengambil bahagian dalam rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam Persidangan Dewan yang mulia ini.
Pertamanya Tanjung Surat ingin terlebih dahulu merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan Negeri yang mulia ini. Daulat Tuanku.
Tanjung Surat juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, EXCO Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan kerana berjaya menguruskan bencana banjir dengan baik dan sempurna.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap kali saya berdiri saya pasti akan menyentuh perkara berkenaan Projek RAPID Pengerang kerana projek ini berada dalam kawasan saya. Seperti kita semua sedia maklum Projek RAPID Pengerang ini merupakan projek mega, telah terbukti memberi impak positif kepada penduduk setempat dari segi pembangunan, ekonomi kawasan sekitar, infrastruktur dan ratusan ribu peluang pekerjaan kepada anak muda.
Namun begitu, adalah lumrah dalam kehidupan setiap sesuatu mesti mempunyai pro dan kontranya, setiap sesuatu pembangunan mesti ada kos lepasnya, setiap kejayaan pasti ada pengorbanannya.
Kejayaan projek ini disusuli dengan pengorbanan hampir 4,000 keluarga dari 10 buah kampung perlu berpindah ke Taman Bayu Damai untuk memberi laluan kepada projek ini. Antara masalah yang masih tiada penghujungnya dan seolah-olah dilupakan ialah kerosakan dan keretakan rumah, kerosakan jalan, sistem pembetungan dan sistem perparitan. Masih banyak rumah rosak yang dibiarkan, masih banyak berlaku kejadian tanah mendap. Saya khuatir jika dibiarkan akan timbul masalah lain pula seperti tempat pembiakan nyamuk aedes, menjadi sarang penagih dan lain-lain lagi.
Perkara ini juga sering dibangkitkan beberapa kali sebelum ini. Jadi, saya mohon kepada kerajaan negeri agar memberi tumpuan terhadap isu-isu yang saya sebutkan tadi. Selain itu, apa yang lebih penting ialah kita mencari punca sebenar masalah tersebut supaya masalah ini benar-benar dapat diatasi secara total dan tidak berulang lagi. Jadi di sini saya juga mohon agar terdapat kajian khusus yang dijalankan terhadap isu mendapan tanah.
Selain itu, isu keselamatan penduduk sekitar juga antara perkara yang kerap saya bangkitkan. Projek-projek seperti ini, projek RAPID ini merupakan projek yang amat berisiko dan saya gesa supaya setiap maklumat-maklumat penting seperti info keselamatan, kesihatan dan impak-impak projek yang baru perlu disalurkan kepada ADUN kawasan supaya kami sebagai Wakil Rakyat boleh menyampaikan maklumat tersebut kepada penduduk dan kami juga boleh memberikan jawapan yang tepat sekiranya mendapat pertanyaan dari penduduk.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi perlu seiring dengan usaha melahirkan ramai tenaga mahir di negeri Johor untuk mengatasi masalah pengangguran mismatch dan juga pekerjaan bergaji rendah. Memetik kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, terdapat 51,944 kekosongan jawatan di Johor pada tahun lalu. Jumlah ini melebihi jumlah mencari pekerja iaitu seramai 34,278 orang. Keadaan ini sebenarnya menggambarkan wujud isu lain dalam sektor pekerjaan di negeri kita seperti isu mismatch atau ketidakpadanan kerja dan juga penawaran pekerjaan berpendapatan tinggi yang masih kurang untuk tenaga kerja tempatan. Isu ketidakpadanan pekerjaan ketika ini amat serius menurut kajian dari seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan Dan Perbankan UUM setiap tahun kemasukan graduan ke dalam pasaran pekerjaan adalah sekitar 300,000 orang namun hanya 90,000 orang yang diambil bekerja. Jika dibuat tinjauan, kebanyakan mereka merasakan pendapatan yang mereka perolehi tidak setimpal dengan kelayakan dan kemahiran yang mereka miliki. Sebenarnya, jika ditinjau rakyat Johor khususnya Orang Muda Johor tidak kisah sangat berkenaan status pekerjaan tetapi apa yang mereka mahukan ialah pekerjaan yang memberikan pendapatan tinggi kepada mereka. Sebab itulah kita lihat ramai rakyat negeri di Johor ini lebih rela bekerja di Singapura.
Pada pendapat saya salah satu penyelesaian untuk masalah ini ialah kita perlu membawa masuk lebih banyak pelaburan yang berkualiti tinggi supaya syarikat-syarikat ini boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi kepada rakyat negeri Johor. Seperti kita semua tahu, Johor telah menerima pelaburan besar tahun 2022 iaitu kira-kira RM60.9 bilion. Saya melihat ini adalah peluang untuk kita memperbanyakkan penawaran pekerjaan bergaji tinggi kepada tenaga tempatan. Seperkara lagi yang perlu diteliti ialah tahap kesediaan tenaga kerja itu sendiri. Jadi, di sini jelas bahawa usaha membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi perlu seiring dengan usaha meningkatkan jumlah tenaga mahir di negeri Johor. Dalam hal ini saya ingin mencadangkan bahawa kerajaan negeri boleh menjadikan Pusat khidmat wakil rakyat di setiap DUN sebagai pusat maklumat untuk mendapatkan maklumat berkaitan pekerjaan dan kursus-kursus kemahiran yang berkaitan yang
ditawarkan oleh kerajaan. Agensi-agensi terlibat juga perlu menghantar pegawai untuk sama-sama memberi maklumat secara terus kepada Wakil Rakyat. Kita perlu bersedia dari aspek tenaga mahir untuk melengkapi keperluan pekerjaan dan pelaburan yang bakal masuk. Kita perlu sama-sama memastikan negeri Johor mampu menjadi sumber utama tenaga mahir lebih-lebih lagi dalam bidang minyak dan gas kerana projek terbesar minyak dan gas adalah terletak di negeri Johor. Bekalan tenaga mahir yang mencukupi juga secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan para pelabur seterusnya dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi di negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita perlu akui bahawa masih ramai di antara ibu bapa di luar sana yang masih menganggap TVET adalah satu bidang kelas kedua atau pilihan kedua. Kita perlu sedar bahawa bidang TVET menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dengan gaji yang agak lumayan. Menurut kajian, berdasarkan pengesanan graduan TVET Malaysia keboleh pasaran graduan kemahiran adalah lebih tinggi berbanding dengan graduan universiti yang mempunyai Diploma, Degree, Master dan PhD. Namun begitu, persoalannya mengapakah TVET masih lagi menjadi topik utama setiap kali musim pengumuman perbelanjaan baik kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri? Antara isu yang kerap diperkatakan ialah isu gaji yang tidak setimpal diterima oleh graduan TVET. Ketidakseragaman antara kementerian dan agensi yang menguruskan TVET kadar enrollment atau penyertaan yang rendah dan juga kesanggupan pihak swasta atau GLC untuk menjadi tempat graduan TVET menjalani latihan industri. Dalam hal ini kita boleh lihat kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem TVET ini setiap tahun pelbagai MOU ditandatangani bersama pihak swasta, pelbagai perbincangan bersama pihak penyelia TVET bersama pihak swasta, pihak rakan universiti dan lain-lain lagi.
Namun, saya melihat salah satu isu pokok kepada semua ini ialah gaji yang diterima graduan. Walau pun hampir 90% graduan TVET memperolehi pekerjaan tetapi 90% daripada mereka meraih gaji sekitar RM1,500.00 hingga RM2,000.00 sebulan. Sekiranya gaji yang ditawarkan rendah, bagaimana untuk kita menarik lebih ramai anak muda menyertai TVET selepas melalui proses pembelajaran yang lama mereka hanya diberi gaji sebanyak itu. Mereka layak menerima gaji yang bermaruah kerana mereka merupakan golongan tenaga pekerja mahir. Jika tidak TVET akan terus menjadi pilihan kedua kepada para ibu bapa dan penyelia atau institusi TVET akan terus berdepan dengan masalah kekurangan enrollment dalam bidang TVET.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa majikan atau pemain industri disarankan memberi gaji minimum RM3,000.00 sebulan untuk graduan atau pekerja berkemahiran tinggi yang telah mengikuti kursus TVET. Saya menyambut baik cadangan ini dan mungkin satu hari nanti perkara ini perlu diperundangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan arus pemodenan dan tuntutan pendidikan yang semakin kompleks ketika ini saya harap kerajaan negeri terus memperkasakan sistem pendidikan sekolah agama di negeri ini dalam usaha melahirkan modal insan yang cemerlang dunia dan akhirat. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri khususnya di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri yang sentiasa berusaha memberi dan menyediakan kemudahan terbaik di sekolah agama demi keselesaan semua pihak. Saya dimaklumkan bahawa sehingga tahun lepas tiada sekolah agama yang usang direkodkan. Saya ingin bertanya, apakah kriteria-kriteria yang diambil kira dalam mengklasifikasikan sesebuah sekolah agama sebagai sekolah usang? Saya juga ingin bertanya apakah perkembangan terkini inisiatif pemasangan Wi-fi di sekolah-sekolah agama. Adakah semua sekolah agama dalam negeri Johor akan menerima Wi-fi tersebut? Saya juga mohon YB EXCO meneliti tahap kemudahan kerusi dan meja di setiap sekolah agama kerana saya menerima banyak permohonan untuk menukar kerusi dan meja yang dikatakan telah uzur oleh sekolah-sekolah agama di kawasan saya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai Presiden Majlis Belia Negeri Johor yang baru diangkat pada penggal ini Belia Bangsa Johor ibarat pemegang taruh utama negeri Johor. Data tahun 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa hampir separuh penduduk Johor adalah generasi muda atau belia yang mewakili sebanyak 45.1% daripada jumlah 4.0 juta penduduk keseluruhan negeri Johor. Belia akan memberi impak secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negeri Johor melalui sumbangan sektor pekerjaan yang disertai golongan ini selain kadar perbelanjaan dan pendapatan mereka. Justeru, setiap perancangan dasar dan polisi kerajaan negeri wajib mengambil kira peranan belia.
Tahniah pada Yang Berhormat EXCO Belia, JOYDEC, Jabatan Belia Sukan di setiap daerah dan semua agensi berkaitan belia sentiasa bergerak proaktif membangunkan belia-belia Bangsa Johor dalam pelbagai aspek. Dengan Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Penaung Majlis Belia Negeri Johor pelbagai inisiatif telah dan sedang berjalan pada masa yang tepat dalam usaha melahirkan belia Bangsa Johor cemerlang dari setiap aspek. Dalam usaha membangunkan belia negeri Johor salah satu aspek yang perlu diberi perhatian ialah pemantapan aspek kepimpinan dan kemajuan kelab-kelab dan persatuan belia di negeri Johor. Dalam hal ini, saya mohon kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian peruntukan dan bantuan-bantuan oleh kelab-kelab dan persatuan belia di negeri Johor terutamanya bantuan kewangan. Hal yang demikian saya dapati tiada butiran peruntukan kewangan untuk kelab-kelab dan persatuan belia dalam belanjawan kerajaan negeri pada tahun 2023.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh sedikit perkara berkaitan dengan usahawan. Di negeri Johor ini, kawasan luar bandarnya masih banyak termasuklah FELDA-FELDA. Di kawasan saya sendiri selain nelayan antara kegiatan ekonomi penduduk ialah berniaga. Masih ramai peniaga kecil yang berniaga di tepi jalan dan ruang parking. Jadi saya mohon agar agensi terbabit dapat memastikan penempatan peniaga-peniaga ini khususnya peniaga bumiputera di dalam kemudahan premis dan prasarana perniagaan. Tak perlu lagilah berjual di tepi jalan.
Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak KEJORA yang sentiasa bergerak membantu peniaga-peniaga di kawasan saya dan juga menganjurkan pelbagai program yang telah dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk DUN Tanjung Surat. Saya juga mohon agar pihak KEJORA dapat meningkatkan lagi pengembangan projek-projek sosioekonomi kepada projek-projek komersial. Perbanyakan juga program-program yang boleh mengupayakan usahawan-usahawan desa supaya mereka boleh mengkomersialkan produk mereka kerana di kawasan ini banyak potensi dan industri yang boleh diperkembangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ekoran masalah banjir terjadi beberapa buah rumah di kawasan FELDA yang mana kerosakan rumah dan juga kejadian tanah runtuh. Mereka mengalami kerugian yang sangat besar namun buntu kerana tidak tahu ke mana tempat yang perlu dituju untuk membuat aduan. Saya merujuk permasalahan ini kepada pihak FELDA dan pihak FELDA menyatakan bahawa mereka tiada peruntukan untuk membaik pulih kawasan rumah terlibat dengan tanah runtuh kerana ia melibatkan kos yang besar. Jadi, saya harap kerajaan negeri melalui agensi-agensi yang terlibat dapat mencari solusi terbaik untuk mengatasi masalah tanah runtuh yang sering kali melanda penduduk sama ada di kawasan FELDA mahupun kawasan kampung tradisi.
Saya juga mahu membangkitkan isu penyelenggaraan jalan raya di kawasan kampung. Saya kerap mendapat aduan rumput lambat dipotong selain mencerminkan landskap yang kurang menarik. Kadang kala menimbulkan situasi bahaya kepada pengguna jalan raya. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya berharap semua isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negeri Johor
Darul Ta’zim yang kita cintai. Sekian sahaja, saya akhiri ucapan saya dengan ucapan wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Terima kasih Tanjung Surat. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Kemelah.
Salam Muafakat Johor, salam Segamat selamat, salam Maju Johor dan salam keluarga Malaysia. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Sebelum lidah ini berbicara dengan lebih panjang izinkan Kemelah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada Khamis yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, maka memulakan ucapan perbahasan pada hari ini tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya tuturkan di Dewan yang mulia ini selain ucapan tahniah yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar selaku pemimpin tertinggi dalam tadbir negeri Johor yang telah berusaha keras seperti titah oleh Duli Yang Maha Mulia kerana telah meletakkan semula Kerajaan Negeri Johor di tangga nombor 1 bagi pelaburan tertinggi yang diluluskan pada tahun 2022 sebanyak RM70.6 bilion. Tahniah Kemelah ucapkan di atas pencapaian terbaik ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, maka mendukung hasrat yang sama dalam kejayaan besar yang dibawa oleh pemimpin kita ini, Kemelah ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini terhadap beberapa perkara yang cukup penting dan perlu diutamakan oleh kita semua selaku pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab membawa harapan besar kepada penduduk di kawasan Kemelah. Melihat kembali pada titah Duli Yang Maha Mulia dua minggu lepas negeri kita telah ditimpa musibah bencana banjir yang sangat besar. Sehingga berlakunya banyak kerosakan bukan sahaja harta benda awam, harta benda persendirian bahkan telah meragut beberapa nyawa dalam tempoh bencana ini. Kemelah juga merakamkan dukacita kepada keluarga mangsa telah terlibat dalam bencana ini serta takziah kepada sebuah keluarga di Sabah kerana anaknya telah meninggal dunia akibat renjatan elektrik ketika sedang melakukan usaha murni membersihkan Sekolah Kebangsaan Pogoh, DUN Kemelah pada minggu yang lalu. Semoga keluarga beliau reda dengan kemalangan tersebut.
Jika diimbas kembali isu banjir ini, kita semua sedar bahawa taburan hujan kali ini begitu banyak tidak seperti tahun yang lalu dan hanya dalam tempoh yang singkat kurang dari 48 jam, Kemelah telah dipenuhi air di serata pelosok kampung sehingga menyebabkan banyak jalan terputus hubungan dalam tempoh tersebut. Perkara ini menyebabkan banyak PPS telah dibuka secara segera dan semestinya kita akur dalam keadaan yang memaksa mangsa pindah segera. Pelbagai masalah timbul tidak seperti banjir yang lalu. Kita lebih bersedia dalam semua permasalahan. Sepanjang banjir ini melanda, Kemelah telah mencatatkan sebanyak 17 buah PPS telah dibuka secara berturut turut dan ada yang telah ditutup dan dibuka kembali bahkan ada PPS yang belum sempat pulangkan barang keperluan bencana dahulu telah digunakan semula dalam waktu terdesak ini. Bagi 17 buah PPS ini, Kemelah merekodkan sebanyak 270 buah keluarga yang melibatkan sebanyak 1,490 mangsa banjir hanya dalam tempoh 1 minggu tersebut. Jumlah ini agak banyak kerana ada beberapa tempat yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini terlibat dengan banjir sehingga mereka hadir ke PPS dalam keadaan sehelai sepinggang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara utama Kemelah lihat ialah bekalan asas yang sampai lewat di PPS terputus hubungan seperti Kampung Codan, Kampung Pogoh Tengah,
Kampung Tekam dan beberapa buah PPS yang lain. Sebelum ini, mungkin pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersedia awal dengan membekalkan bekalan pengkalan hadapan akan tetapi kali ini banjir di luar jangka dan begitu ramai mangsa tinggal di PPS tanpa bekalan makanan asas sehingga terpaksa berlapar hingga ke petang. Kemelah yakin dan percaya bahawa, maaf. Kemelah yakin dan percaya sahabat ADUN lain turut mengalami isu serupa dan semestinya. Kami yang telah diamanahkan akan terus menyantuni mangsa-mangsa ini dalam kadar seberapa segera bagi meringankan beban mangsa serta jabatan kerajaan yang terlibat. Dalam pada ini, Kemelah ingin menarik perhatian yang mulia tentang kedudukan PPS yang kurang relevant memandangkan tempat itu sendiri terlibat dengan banjir. Seperti di Kemelah, Sekolah Agama Taman Pelangi, Paya Pulai telah menempatkan seramai 826 mangsa dengan 87 buah keluarga. Namun, pada masa yang sama sekolah itu dinaiki air sehingga paras tingkat satu sekolah tersebut.
Bagi PPS di Kampung Codan pula, Kemelah rasa bersyukur ada seorang insan berhati mulia memberi keizinan untuk tinggal di kawasan syarikatnya dengan nama bangunan Syarikat Paduan untuk di diami oleh 16 buah keluarga dengan jumlah 66 mangsa sepanjang tempoh banjir ini melanda. Meskipun seperti ini sudah menjadi tradisi tahunan, acap kali banjir tempat ini dijadikan PPS. Kemelah masih berharap agar kerajaan menilai dan meneliti semua fasiliti yang lebih baik untuk mereka memandangkan Kampung Codan antara kampung terawal dinaiki air dan terakhir akan pulang ke rumah masing-masing setiap tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkata tentang banjir ini ada juga masalah baru setelah bencana ini hadir secara cepat baru-baru ini. Dalam DUN Kemelah, isu bekalan air terputus sudah berlarutan sepanjang beberapa tahun. Tambahan pula, banjir kali ini makin menyedihkan apabila terdapat beberapa saluran air utama telah musnah dek air yang deras waktu itu. Antara kawasan yang terlibat ialah FELDA Kemelah, Kampung Tekam, Kampung Pogoh, Kampung Codan dan beberapa buah perkampungan rangkaian di situ. Kemelah juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih atas prihatin SAJ Ranhill yang saya yakin mereka tidak putus-putus berusaha bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa terlibat. Meskipun begitu, sebagai Wakil Rakyat, Kemelah juga mengambil pelbagai inisiatif awal selain menghantar air bersih bagi kegunaan harian untuk minuman dan masakan terdahulu sementara menanti bekalan air tersebut dihubungkan sebaik setelah rosak dibadai air besar. Kita semua maklum bekalan air bersih adalah penting bagi setiap orang dan kejadian ini boleh ditafsirkan sebagai kejadian luar jangka meskipun pernah dilaporkan sudah terlalu lama berlaku namun masih lagi di takuk lama. Bagi permasalahan bekalan air sebelum banjir pula, saya pernah dimaklumkan sebelum ini, peruntukan telah disediakan untuk permasalahan ini. Namun, ia masih lagi belum dapat diselesaikan. Kemelah berharap setelah insiden bekalan air terputus sehingga mencecah 13 hari di kampung pedalaman pada banjir kali ini, ianya dapatkan disegerakan agar tidak berulang kembali di masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mengambil ruang yang sama ini juga saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula peruntukan baharu yang lebih bersesuaian setelah mengambil kira dari segi aspek pengurusan kerja-kerja dalam kawasan FELDA. Dalam bencana banjir kali ini, terdapat sebuah jambatan dalam FELDA Kemelah telah terputus dan perkara ini menyebabkan peneroka tidak dapat membawa keluar hasil pertanian mereka sekali gus memberi kesan kepada pendapatan peneroka bulan ini. Oleh yang demikian, Kemelah berharap sekiranya terdapat kelulusan seperti baik pulih jambatan di FELDA Kemelah ini dapat disegerakan dan mengambil kira aspek kegunaan harian penduduk dalam FELDA tersebut. Kemelah juga ingin mengetengahkan tentang penternak-penternak dalam DUN Kemelah. Memandangkan DUN ini terletak di luar bandar, kebanyakan penduduk kampung menyara hidup melalui pertanian, nelayan dan menternak haiwan. Akibat banjir besar ini bukan sahaja tanaman musnah akan tetapi ternakan mereka juga tidak ketinggalan turut sama musnah dibawa arus deras yang muncul
secara mendadak. Kejadian ini mengakibatkan penternak haiwan seperti kambing, lembu, kerbau, ayam telah mengalami kerugian besar dan mereka amat memerlukan sokongan awal untuk memulakan semula usaha ternakan ini.
Oleh itu, Kemelah berharap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang begitu peka tentang kebajikan Bangsa Johor untuk meneliti bantuan-bantuan berbentuk ternakan agar mangsa banjir ini tidak rasa terlalu terbeban atas kehilangan punca pendapatan mereka sebelum ini. Meskipun kita tidak dapat menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada penternak-penternak ini, namun begitu Kemelah melihat perlunya kerajaan mengambil kira tentang permasalahan terpencil ini kerana ianya masalah besar bagi penduduk luar bandar, amnya seperti dalam DUN Kemelah.
Dalam Dewan yang mulia ini, Kemelah ingin menzahirkan ucapan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua-Ketua Kampung, Penghulu, ketua cawangan, ketua bahagia, sayap Parti Politik, Ketua Masyarakat, JKM, APAM, MPS, Bomba, IPD, RELA, Pejabat Kesihatan, Pejabat Daerah, Jabatan Penerangan, nelayan-nelayan, NGO serta semua yang terlibat dalam misi bantuan banjir DUN Kemelah. Sesungguhnya pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya dan bantuan sokongan semua amat Kemelah hargai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap mengenai fasiliti perubatan ini, tidak pernah mendapat kesempurnaan secara keseluruhan kerana faktor kesihatan perkara utama yang akan dilalui oleh setiap insan tidak kira golongan B40 mahu pun golongan T20. Baru-baru ini Hospital Segamat telah menerima sebuah bangunan tambahan yang terletak bersebelahan Hospital Segamat sedia ada. Bangunan baru ini dilengkapi dengan pelbagai mesin yang lebih canggih dan semestinya Kemelah mengimpikan servis yang lebih efisien dari sebelum ini. Dapat juga disediakan selari dengan peningkatan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Segamat. Pada hemat saya, andainya kita telah memiliki bangunan tambahan baharu, maka seharusnya kita juga telah menemui jalan keluar untuk membantu menyelesaikan lebih banyak masalah perubatan seperti kekurangan doktor pakar, jururawat serta juga ambulans. Saya difahamkan setakat ini, Hospital Segamat hanya mempunyai 6 buah ambulans sahaja. Dan terpaksa beri khidmat bukan sahaja untuk penduduk Segamat bahkan pesakit dari Gemas, Bahau dan daripada kawasan yang jauh daripada Segamat. Semestinya lebih ramai pesakit yang memerlukan perubatan di Hospital Segamat dan jika hanya membekalkan 6 buah ini, tidak mencukupi bagi melancarkan urusan perubatan dalam tempoh segera. Kemelah berharap kemudahan fasiliti kesihatan seperti ambulans dapat diutamakan juga kerana ramai pesakit mengadu terpaksa menunggu dari pagi hingga petang semata-mata untuk menanti ambulans kosong untuk dipindahkan ke Hospital Johor Bahru. Perkara ini perlu dipandang serius dan seharusnya ianya tidak berulang sebaik sahaja bangunan tambahan baharu Hospital Segamat ini beroperasi kelak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Kemelah terdapat dua buah FELDA iaitu FELDA Redong dan FELDA Kemelah. Pada masa sama kedua-dua buah FELDA ini masih lagi menuntut dan ternanti nantikan lot-lot tanah bagi Generasi Kedua ini. Sehingga hari ini, Generasi Kedua FELDA Redong dan FELDA Kemelah masih menanti racikan terkini untuk dikurniakan kepada mereka. Saya difahamkan perkara ini masih lagi dalam proses di mana penempatan lebih 100 penerima bagi kedua-dua FELDA tersebut. Kemelah berharap seiring dengan inisiatif Belanjawan yang dibentangkan terdahulu, perkara seperti ini dapat memberi lebih kemakmuran dan kesejahteraan kepada Generasi Kedua di masa akan datang. Ada juga tanah yang telah diusahakan oleh peneroka FELDA boleh diteruskan oleh Generasi Kedua dan ada juga Generasi Kedua yang masih kosong tidak mempunyai asas dan hanya berharap agar kelulusan tapak tanah Generasi Kedua dapat dikurniakan dalam tempoh yang terdekat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jika direnung kembali di persekitaran DUN Kemelah, banyak kawasan industri terletak dalam DUN ini jika dibandingkan dengan DUN berdekatan
Kemelah. Meskipun begitu industri ini masih lagi di takuk lama yang tidak dapat berkembang pesat seiring dengan peningkatan pengeluaran produk mereka memandangkan isu-isu asas tidak selesai sehingga hari ini. Terdapat sebuah kawasan luas yang sepenuhnya mengusahakan pelbagai produk di Segamat Inland Port masih lagi mengalami masalah bekalan elektrik walaupun sudah berkali-kali kertas kerja cadangan diutarakan kepada pihak berkaitan demi kestabilan bekalan elektrik di kilang mereka.
Kawasan Segamat Inland Port ini menempatkan pelbagai jenis kilang dan saya sendiri telah menerima cadangan dari pelabur luar untuk mengusahakan kilang baharu di terminal tersebut. Namun, agak mendukacitakan bila mereka membuat analisis terdapat masalah utama yang menyebabkan mesin tidak dapat beroperasi mengikut jadual kerana bekalan elektrik kerap terganggu di kawasan ini. Kemelah mencadangkan agar sekiranya stesen elektrik tidak dapat dibina dalam skala yang besar dapatlah kiranya bekalan elektrik di bekalkan tanpa gangguan yang kerap memandangkan mesin-mesin besar ini memerlukan voltan terlebih tinggi dari kegunaan harian kita di rumah seperti bila, serta bila terganggu hasil produk juga kurang berkualiti.
Kemelah, masa.
Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Berpuasa.
Terima kasih Yang Berhormat Kemelah. Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor, salam Makmur Bersama Rakyat. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertamanya saya ingin menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dan juga atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah berkenan merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ini.
Seterusnya saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada saya untuk perbahasan kali ini yang mana saya hanya akan menyentuh dua perkara sahaja iaitu pertamanya berkaitan dengan isu banjir dan yang keduanya berkenaan dengan penerapan nilai-nilai murni yang berkisar tentang tanggungjawab masyarakat terhadap menjaga kebersihan dan kebersihan ini juga dia ada bersangkut paut dengan banjir Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bila kita bercerita tentang isu banjir ini. Sebenarnya banjir ini ada dua kategori. Kategori yang pertama adalah kategori banjir besar. Yang mana banjir besar ini sebenarnya dia berlaku selang di antara 15 hingga 20 tahun. Saya yakin dengan pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor, projek-projek serta perancangan bagi mengatasi masalah banjir ini telah pun ada dalam perancangan. Dan kita pun tahu bahawa Yang Amat Berhormat Menteri besar Johor juga bercadang mewujudkan Jawatankuasa Perubahan Iklim Dan Pengurusan Banjir. Johor dilanda banjir besar pada tahun 1986, 20 tahun kemudian tahun 2006 kita dilanda lagi sekali banjir besar dan 17 tahun selepas 2006 tahun ini kita sekali lagi dilanda banjir besar. Cuma agak menjadi persoalan bila dulu Johor dilanda banjir besar pada tahun 1986, 20 tahun kemudian kita dilanda banjir besar pada tahun 2006. Apakah perancangan kerajaan negeri ketika itu kalau misalannya banjir berlaku lagi dan nampaknya memang banjir ini berlaku pada tahun ini dan sekiranya kalau ketika itu ada perancangan sudah pastinya ianya tidak berapa menjejaskan dan tidak melibatkan kerugian besar yang mana kita alami sekarang ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jadi saya mengharapkan perancangan projek tebatan banjir ini dapat dijelaskan di dalam Dewan ini bila nak mula? Bila nak siap? Kawasan mana yang nak dibuat? Kalau dibuat pun dekat kawasan itu dia boleh mencakupi keluasan seberapa besar dan sekiranya berlaku lagi banjir, 15 atau 20 tahun akan datang apakah impak positif yang kita akan dapat hasil daripada perancangan projek yang kita nak rancang nak buat ketika ini.
Tadi kategori pertama banjir besar, kategori banjir kedua banjir kilat, acara tahunan. Saya bual-bual dengan kawan-kawan ADUN ni Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, semua setuju kalau dulu, kalau hujan lebat makin nyenyak tidur. Sekarang ini kalau hujan lebat makin tak nyenyak nak tidur. Bukan hanya kami ADUN-ADUN, ketua-ketua jabatan juga begitu kerana apa sebab takut banjir kilat. Dalam kita bercerita untuk menangani masalah banjir yang berlaku sekarang ini, sebenarnya memang hakikatnya kita ini mengalami masalah banjir ini setiap tahun dan setiap tahun bukan hanya sekali. Contoh macam kawan saya YB ADUN Pekan Nanas, setahun saya rasa dekat 3, 4 kali banjir kilat. Ada banjir yang disebabkan kerana adanya pembangunan, ada banjir yang disebabkan kerana penerokaan kawasan hutan yang tidak dikawal, ada banjir disebabkan kerana longkang sumbat, ada banjir disebabkan kerana sungai tidak digali dan sebagainya. Dan sudah pastinya bertambah buruk banjir kilat ini kalau berlakunya air pasang besar. Bertahun berlaku tapi yelah dah namanya acara tahunan kan, tapi kalau pun namanya banjir acara tahunan takkan takda perancangan, takkan tak ada solusi, banjir besar tadi kita kata ada perancangan tebatan banjir dan sebagainya. Adakah projek mengatasi masalah banjir besar itu akan dapat membantu masalah banjir kilat ataupun banjir acara tahunan ini. Saya rasa EXCO Perumahan dengan bantuan PBT dan juga Pejabat Daerah, saya rasa kita perlu ada rekod yang proper, kita ada perlu data yang proper yang mana kita kena ada rekod kawasan mana yang terlibat dengan banjir, kita kena ada rekod kawasan mana yang dulu banjir sekarang tak banjir, kita kena ada rekod kawasan mana yang kawasan banjir baru supaya rekod-rekod ini dapat memberikan data kepada kerajaan negeri supaya dapat mengukur tahap prestasi sejauh mana kerajaan Johor dapat menyelesaikan isu banjir kilat ini.
Untuk isu banjir kilat ini saya ada beberapa cadangan untuk dibentangkan di dalam Sidang Dewan ini. Kita tahu Pejabat Daerah dia tidak ada peruntukan khas kecemasan banjir tetapi kalau berlaku banjir, Pejabat Daerah boleh mohon bila-bila aje dekat pejabat MB, cuma isunya nak mohon tu dia ambil masa, orang kampung ini kalau banjir, la tu juga dan-dan tu juga dia nak minta kita gali parit, la tu juga, dan-dan tu juga dia nak minta kita gali sungai. Jadi saya rasa adalah elok sekiranya adanya peruntukan khas kecemasan banjir ini yang mana kita tahu memang berlaku pun saban tahun. Kalau kita lambat gali sungai, kalau kita lambat gali parit, kalau boleh hari ini banjir orang kampung nak minta kita gali hari ini juga. Makin lambat kita gali, kalau dekat kawasan pedalaman ini dia bukan banjir masuk rumah sahaja dia juga banjir dalam kawasan-kawasan kebun dan tanaman orang kampung. Makin lambat kita menyelesaikan isu banjir ini makin tinggi risiko tanaman-tanaman orang kampung untuk rosak.
Jadi makin tinggi kerugian yang akan dialami oleh orang-orang kampung. Kalau dekat Pulai Sebatang ini JPS lah kesihatan. Kalau banjir aje cari JPS. Senyum rakan saya dekat sebelah ini. Kalau banjir je cari JPS bukan JPS tak nak bantu, bukan JPS tak nak tolong tetapi JPS ini nak bantu pun kalau peruntukannya tak cukup macam mana JPS nak bantu. Orang kampung kadang dia tak faham yang dia tahu tolong selesaikan isu masalah banjir dia. Jadi di dalam Jabatan JPS ini sebenarnya dia ada sumber, dia ada 2 sumber peruntukan yang diterima oleh JPS. Satu daripada kerajaan Persekutuan yang mana kerajaan persekutuan ini bagi peruntukan lebih kepada untuk mengatasi masalah sungai-sungai. Yang kedua JPS dapat peruntukkan daripada kerajaan negeri yang mana peruntukan ini berbentuk penyelenggaraan bagi parit-parit tanah kawasan kampung. Kita
tengok, saya nak tengok untuk daerah Pontian dan saya yakin perkara ini berlaku, masalah ini berlaku sama bagi daerah-daerah lain. Bagi JPS daerah Pontian, tahun lepas kerajaan persekutuan bagi peruntukan sebanyak RM4 juta aje. RM4 juta nak cover apa dekat daerah Pontian. RM4 juta ini nak cover 12 batang sungai. 12 batang sungai ni panjangnya berapa, panjangnya 268.83 kilometer, berapa kos nak gali sungai-sungai dalam daerah Pontian, nak gali sebanyak 12 batang sungai sepanjang 268.83 kilometer ini, kosnya RM35.4 juta. Federal bagi baru RM4 juta. Berapa pula kos nak buat kerja-kerja pembersihan, dia sungai ini dia ada 2, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, satu dia gali dia nak mendalamkan sungai tu. Itu skop kerja pertama.
Skop kerja kedua, dia buat pembersihan, pembersihan dari segi membersihkan rumput-rumput dan membuang halangan-halangan dalam sungai. Untuk gali tadi RM4 juta nak cover 12 batang sungai, nak bersihkan sungai ni pulak, 12 batang sungai nak bersihkan aje 12 batang sungai tu menelan belanja RM2.66 juta tapi dapat tadi RM4 juta aje. Macam mana JPS nak bantu, bukan JPS tak nak bantu tetapi peruntukannya terlalu sedikit. Dan kalau kita nak bersihkan sungai ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ia bukan sepatutnya sekali setahun, tapi apa yang JPS boleh buat, JPS hanya boleh gali setahun sekali sahaja sebab peruntukan terlaku sedikit, sedangkan kita tahu dalam keadaan iklim Malaysia ini memang kalau rumput tu tumbuh subur tak sampai 2, 3 bulan dah tebal dah dia. Tapi banjir ni pula kalau kita gali bulan 1, kita sekarang ni banjir bulan 3, kalau kita gali bulan 3, bersihkan bulan 3, bulan 11, 12 kita banjir lagi. So rumput itu sepatutnya dibersihkan setahun paling kurang pun 3 kali setahun.
Jadi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, itu tadi peruntukan di bawah kerajaan persekutuan. Peruntukan sumber kedua yang JPS ada adalah peruntukan di bawah kerajaan negeri. Jadi untuk daerah Pontian, saya bagi contoh bagi daerah Pontian, purata tahunan yang kalau JPS daerah Pontian dapat ini dalam RM5 juta setahun. RM5 juta setahun ini lebih kepada untuk menyelenggara parit-parit tanah dalam kawasan-kawasan jalan kampung di daerah-daerah. Sungai tadi federal cover tapi tak cukup baru RM4 juta perlukan tidak kurang RM38 juta. Untuk parit-parit tanah ini negeri tolong cover, berapa yang negeri bagi, negeri bagi untuk daerah Pontian anggaran setiap tahun dalam RM5 juta. RM5 juta ini boleh cover apa? RM5 juta ini hanya dapat cover 40% sahaja panjang parit tanah yang ada dalam daerah Pontian. Dalam daerah Pontian ini ada 1400 kilometer parit tanah dapat cover cuma 40% sahaja. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, Datuk Timbalan Speaker, apa yang saya nak cadangkan di sini saya harap kerajaan negeri dapat bantu tambah duit peruntukan penyelenggaraan untuk JPS ini, saya faham kita minta tu mungkin kita tak boleh dapat semua tapi sekurang-kurangnya bantulah dari segi untuk menambahkan peruntukan sedia ada.
Yang keduanya di dalam Sidang Dewan yang lepas saya ada mencadangkan agar kerja-kerja penggalian parit tanah ini dipulangkan semula kepada ketua-ketua kampung. Sebab peruntukan tak cukup jadi ketua kampung aje yang lebih mahir dan lebih tahu parit mana yang nak kena gali dulu. Saya tak lah nak menafikan pegawai-pegawai dan kakitangan JPS sebab mereka ini tidak round macam ketua kampung. Jadi kalau dipulangkan semula kerja-kerja penggalian parit tanah ini kepada ketua kampung sekurang-kurangnya ketua kampung dapat membantu mengurangkan masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan-kawasan kampung. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selesai isu banjir, sebelum selesai isu banjir saya tutup isu banjir ini dengan pantun. Banjir melanda ianya ujian, moga tabah kukuhkan iman. Harap cadangan ini dipertimbangkan, wujudkan peruntukan khas kecemasan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya berkaitan dengan nilai-nilai murni yang saya sebutkan di awal tadi. Kita sering mengutarakan tentang permasalahan berkaitan dengan cadangan penambahbaikan sistem perkhidmatan sedia ada, kita sering timbulkan isu masalah pasal jalan, hospital dan sebagainya namun saya rasa kali ini perlu juga kita
menyentuh isu berkaitan perkara nilai-nilai murni dan tata etika Bangsa Johor. Negeri Johor memerlukan generasi dan rakyat yang memiliki moral yang unggul dan berakhlak tinggi demi memelihara keharmonian perpaduan dan kemajuan pembangunan. Saya yakin negeri Johor akan lebih maju dan makmur sekiranya negeri ini memiliki masyarakat dengan ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Namun sejak akhir-akhir ini, mungkin apa yang saya sebutkan ini agak sensitif tapi saya rasa kita perlu bincangkan dalam Sidang Dewan ini. Saya perhatikan sejak kebelakangan ini nilai-nilai murni masyarakat Bangsa Johor itu semakin menipis. Kalau dulu-dulu masa saya kecik-kecik, kalau adalah binatang mati dekat tengah jalan ayah saya tak telefon Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah apa yang ayah saya buat dia ambil bangkai anjing tu tarik buang dan tanam. Tetapi perkara ini tidak berlaku sekarang ini mungkin ada tetapi semakin berkurangan. Banyak sebenarnya kalau kita nak cerita pasal nilai murni dan tata etika. Contoh saya yakin rakan-rakan ADUN sama ada di pihak kerajaan atau pun di pihak pengimbang kerajaan turun kawasan bagi bantuan. Jarang saya lihat kalau orang bersalin sekarang ini susah sidai lampin. Susah macam mana pun tetap nak pampers. Jadi nilai-nilai murni ini saya rasa kerajaan negeri bertanggungjawab membantu mengembalikan semula nilai-nilai murni ini dalam negeri Johor untuk Bangsa Johor.
Banyak kalau kita nak cerita isu nilai murni saya nak sentuh pasal isu kebersihan saja. Kita tahu Menteri Besar Johor melaksanakan Program Johor Bersih. Saya nak tanya pada kerajaan negeri, kita buat Johor Bersih ini, sejauh manakah sebenarnya perancangan kerajaan negeri nak meneruskan Program Johor Bersih ini? Sampai bila Menteri Besar Johor setiap Ahad nak kutip sampah? Apa rakyat bantu? Apa rakyat buat? Perkara ini kita perlu ambil berat dan perkara ini bukan hanya kita letakkan di bahu Menteri Besar Johor, EXCO-EXCO yang berkaitan juga perlu mengambil berat begitu juga dengan jabatan-jabatan. Kita perhebatkan kempen dan juga iklan, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mainkan peranan, EXCO Pembangunan Keluarga dan Masyarakat perlu main peranan, EXCO Pendidikan perlu main peranan, EXCO Hal Ehwal Agama Islam perlu main peranan, EXCO Kesihatan dan Perpaduan perlu main peranan, EXCO Belia perlu main peranan, saya lihat sekarang ini Digital Billboard dah ada buat ayat catchy sikit, buang sampah ke daripada kereta? Tak malu? nak kena saman? Saya rasa perkara-perkara ini kita perlu buat. Mungkin kita buat hari ini, mungkin kita buat tahun ini kesannya bukan tahun ini atau tahun depan tetapi mungkin kesannya 5, 10 tahun akan datang. Sekurang-kurangnya Bangsa Johor ini menjadi bangsa yang boleh kita banggakan berbanding dengan negeri-negeri lain.
Masa Pulai Sebatang.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mohon agar dalam penggulungan nanti EXCO yang berkaitan mungkin dapat menjawab persoalan sejauh manakah sebenarnya perancangan kerajaan negeri untuk meneruskan Program Johor Bersih ini supaya Bangsa Johor ini dapat kita terapkan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan kebersihan. Sekian daripada saya Pulai Sebatang. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Pulai Sebatang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok Selasa, 21 Mac 2023 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.04 petang.