Johor · 21 March 2023
2nd session, 1st meeting · 130 turns · 31,467 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mula membuat penggulungan pada esok pagi dan hanya satu soalan lisan sahaja yang akan dibenarkan, yang akan dijawab oleh Yang Amat Berhormat Machap dan Sidang akan ditamatkan lebih awal pada jam 1 untuk Majlis Tahlil Dan Yassinan Sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.
Soalan Lisan.Questions
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1. Sekian, terima kasih.
Kepadatan penduduk di Taman Nusantara telah meningkat beberapa tahun ini dan akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang. Apakah ada rancangan pihak kementerian dan kerajaan negeri untuk menambah bilangan sekolah kebangsaan di dalam kawasan tersebut bagi memenuhi keperluan yang mendesak sekarang?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, merujuk kepada soalan daripada Kota Iskandar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur pendidikan yang kondusif dalam konteks pembinaan sekolah baru. JPN Johor akan mendapatkan input dan cadangan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, seterusnya JPN Johor akan melaksanakan analisis keperluan selain kesediaan tapak atau tanah. Antara perkara lain yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran, kepadatan pendudukan di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan.
Berhubungan dengan pertanyaan cadangan pembinaan sekolah kebangsaan baru di Taman Nusantara, ingin saya maklumkan bahawa kapasiti sekolah kebangsaan sedia ada masih berupaya menampung pertambahan enrolment murid di kawasan tersebut. Sekiranya pada masa akan datang, ada keperluan yang mendesak di kawasan tersebut, JPN Johor akan mengangkat permohonan pembinaan bagi sekolah baru dalam Rancangan Malaysia 5 Tahun. Walau bagaimanapun, perlaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan agensi pusat dan kemampuan kewangan negara. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker dan Yang Berhormat EXCO. Soalan saya, Datuk Speaker, boleh tak YB EXCO menyatakan
berapa bilangan sekolah rendah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah di kawasan Kota Iskandar? Dan, ingin saya maklumkan bahawa di Sekolah Menengah Nusajaya itu sendiri sekarang 1,800 orang murid yang belajar situ. Jadi, kalau dibandingkan dengan kapasiti yang ada lebih daripada 60,000 di kawasan Nusantara itu, maka Pengetua memaklumkan kepada saya bahawa keadaan tak dapat menampung kebanjiran penduduk yang ada dalam Kota Iskandar. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Untuk makluman, kerajaan negeri Johor bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa, sentiasa mengenal pasti akan masalah isu kepadatan murid di setiap kawasan. Semasa kehadiran YBM Menteri Pendidikan di Johor, inilah isu yang kami angkat untuk sama-sama kita bawa, makluman kepada Yang Berhormat Menteri. Jadi, berdasarkan soalan daripada YB Kota Iskandar, saya akan jawab secara bertulis kerana kita nak kan data yang tepat dan jelas untuk makluman semua. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.
Apakah tindakan pihak berkuasa berikutan aduan daripada pihak nelayan berkenaan penggunaan pukat tunda yang mengganggu aktiviti nelayan-nelayan kecil di perairan Muar?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada ADUN Maharani. ADUN Maharani bertanyakan tentang tindakan pihak berkuasa berikutan aduan daripada pihak nelayan berkaitan penggunaan pukat tunda yang mengganggu aktiviti nelayan kecil di perairan Muar.
Untuk makluman Datuk Speaker, secara umumnya terdapat 5 zon perairan aktiviti perikanan berdasarkan sistem pengezonan perairan perikanan Malaysia. Ianya adalah Zon A iaitu melibatkan antara 0 hingga 5 batu nautika, Zon B antara 5 hingga 12 batu nautika, Zon C, 12 hingga 30 batu nautika. Zon C2 antara 30 batu nautika hingga sempadan lautan lepas dan Zon C3 adalah Lautan Hindi. Setiap zon telah ditetapkan jenis peralatan tangkapan yang dibenarkan untuk menangkap ikan. Sebagai contoh nelayan di Zon A hanya dibenarkan untuk menangkap ikan dengan penggunaan peralatan menangkap ikan kategori tradisional iaitu pukat tarik dan pukat hanyut. Manakala, peralatan menangkap ikan kategori komersial seperti pukat tunda tidak dibenarkan dalam Zon A. Nelayan di Zon B, Zon C, Zon C2 dan C3, boleh menggunakan peralatan tangkapan ikan sama ada kategori tradisional atau komersial seperti pukat tunda dan pukat jerut.
Dalam menangani permasalahan menggunakan pukat tunda yang mengganggu aktiviti nelayan kecil seperti di perairan Muar, Jabatan Perikanan Negeri Johor sebagai agensi yang bertanggungjawab memandang serius di atas perkara ini. Aktiviti penguatkuasaan sentiasa dilakukan selaras dengan Akta Perikanan 1985, bagi memastikan kelestarian sumber perikanan di perairan Malaysia khususnya di perairan negeri Johor.
Aktiviti pencerobohan vessel pukat tunda Zon B ke zon penangkapan nelayan pantai di Zon A akan memberikan kesan negatif ke atas ekosistem pinggir pantai. Perubahan bentuk muka bumi dasar laut akibat daripada aktiviti penundaan di pinggir laut yang cetek akan menyebabkan kemusnahan habitat semula jadi kepada benih ikan dan hidupan akuatik marin yang lain. Selain itu, Akta ini dikuatkuasakan bagi mengelakkan konflik dan pertelingkahan antara nelayan pantai iaitu Zon A yang menggunakan peralatan menangkap ikan tradisional dengan nelayan komersial yang menggunakan peralatan menangkap ikan
berkapasiti tinggi. Pengezonan ini dapat memastikan pembangunan sosioekonomi nelayan yang lebih seimbang di samping menjamin kemampanan sumber perikanan khususnya di negeri Johor.
Antara langkah-langkah yang dilaksanakan Jabatan bagi menangani isu ini adalah seperti peningkatan program pemantauan, pengawalan dan pengawasan sebanyak 20% berbanding tahun sebelum ini dengan sentiasa mengerakkan aset dan anggota secara berterusan. Kedua, memberikan penerangan dan melaksanakan program kesedaran kepada nelayan setempat secara berkala berkaitan persempadanan kawasan pukat tunda dan kesalahan melanggar zon penangkapan ikan tradisi. Yang ketiga, menjalinkan kerjasama dengan lain-lain agensi seperti APMM dan PDRM dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terutamanya dalam perkongsian maklumat, risikan dan aduan.
Dan, yang keempatnya, meningkatkan keupayaan penguatkuasaan Jabatan Perikanan Malaysia, dengan menambah aset bot peronda di Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Pahat, yang dijangka di terima pada akhir tahun 2024 atau awal tahun 2025. Sebagai rekod untuk tahun 2022 sahaja, kes tangkapan di perairan Johor menerusi 4 Pangkalan Perlindungan Sumber di Johor adalah sebanyak 63 kes bagi pelbagai kesalahan dan 14 kesalahan daripadanya adalah kes bagi kesalahan penggunaan zon pukat tunda yang menceroboh Zon A.
Untuk makluman Yang Berhormat Maharani, jumlah kes tangkapan oleh Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Pahat di sekitar perairan Batu Pahat dan Muar adalah sebanyak 24 kes dan 3 daripadanya adalah kes pukat tunda yang menceroboh Zon A. Sekian, terima kasih.
Ya, sila Maharani.
Terima kasih kepada Datuk Speaker dan YB EXCO. Soalan saya, walaupun telah diadakan beberapa tindakan oleh pihak berkuasa terhadap penceroboh bot pukat tunda, masih lagi kedengaran daripada pihak-pihak nelayan tentang penglibatan pencerobohan pukat-pukat tunda di kawasan Zon A ini. Adakah setuju sekiranya dihukum pada mereka ini dengan hukuman yang lebih berat, supaya mereka takut untuk berada di kawasan Zon A? Terima kasih.
Terima kasih kepada DUN Maharani atas soalan dan pandangan itu. Saya setuju bahawa tidak ada rasa takut di kalangan nelayan Zon B, C untuk menggunakan pukat tunda di Zon A. Ini berpandukan kepada rekod tangkapan di perairan Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker, bagi tahun 2020 hingga 2023, rekod kes tangkapan ikan di perairan Johor, yang ditangkap oleh Jabatan Perikanan adalah sebanyak 119 kes manakala yang ditangkap oleh PDRM adalah sebanyak 165 kes yang memberi jumlah sebanyak 280 kes. Dan kompaun yang telah diperolehi adalah sebanyak RM195,260.00. Manakala lelongan, hasil lelongan berjumlah RM27,099.00. Dan ianya melibatkan kes pukat tunda sebanyak 81 kes dengan jumlah hasil RM220,359.00. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak takut langsung tentang penguatkuasaan yang dikenakan oleh pihak berkuasa.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan juga Ahli Dewan, bahawa antara yang dikenakan tindakan termasuk penyitaan dan juga pelelongan peralatan yang digunakan. Walau bagaimanapun, Tuan Speaker saya percaya.
Walau bagaimanapun, penguatkuasaan yang dijalankan, hasil tangkapan yang begitu besar mungkin tidak menakutkan mereka ini. Dan sebab itu, seperti saya sebutkan di awal tadi, bahawa antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan ialah memberi penerangan untuk melaksanakan
kesedaran kepada nelayan-nelayan ini. Jadi kepada Yang Berhormat Speaker dan kepada Datuk, DUN Maharani, saya harap penerangan saya jelas, jika perlukan penerangan lebih lanjut, saya akan berikan secara bertulis. Insya-Allah.
Saya jemput Yang Berhormat Tenang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 3. Terima kasih.
Apakah Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bersedia untuk mengkaji semula masa dan laluan Bas Muafakat Johor di PBT Labis bagi membolehkan perkhidmatan tersebut dimanfaatkan oleh pelajar berikutan tiada perkhidmatan bas sekolah di beberapa penempatan penduduk.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tenang.
Untuk makluman semua, kerajaan negeri melalui Perbadanan Awam, Perbadanan Pengangkutan Awam Negeri Johor sentiasa akan mengkaji semua laluan-laluan Bas Muafakat Johor, sekiranya terdapat cadangan bagi menambah baik dari segi masa dan laluan perkhidmatan tersebut, PAJ mengalu-alukan pandangan dari wakil penduduk dan PBT sendiri jika ada keperluan bagi mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan bas percuma ini.
Untuk makluman Yang Berhormat Tenang, di Labis pada masa sekarang terdapat 3 laluan Bas Muafakat Johor iaitu LB 001 di dalam Pekan Labis, LB 001A antara Terminal Labis ke Kolam Air Panas dan LB 002 dari Terminal Labis ke Bekok. Mesyuarat berkala bersama PBT dan operator bas yang mengendalikan perkhidmatan di kawasan tersebut menjadi panduan bagi mengenal pasti isu dan cadangan yang boleh ditambah baik. Belanjawan Johor 2023 yang lepas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah merancang untuk membuat penilaian semua, penilaian semula laluan sedia ada dan ada mencadangkan laluan yang berkapasiti tinggi, agar dana kerajaan dapat dioptimumkan. Perancangan, penetapan dan semakan laluan Bas Muafakat Johor sentiasa dijalankan berdasarkan beberapa kriteria iaitu melalui kawasan berpenduduk yang tiada perkhidmatan sebelum ini dengan kepadatan tinggi serta melalui kawasan kemudahan awam, pejabat agensi kerajaan, sekolah, kawasan rekreasi dan lain-lain kawasan tumpuan masyarakat setempat.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, laluan Bas Muafakat Johor juga mengambil kira keadaan infrastruktur sedia ada seperti kelebaran jalan, radius pusingan di persimpangan, kemudahan pondok bas sedia ada, lay-by dan lain-lain.
Selain itu laluan Bas Muafakat Johor yang dicadangkan juga perlu mempunyai integrasi dengan perkhidmatan pengangkutan bas dan teksi sedia ada serta perkhidmatan pengangkutan awam yang lain.
Bagi perkhidmatan Bas Muafakat Johor di kawasan Labis, kerajaan negeri telah meluluskan cadangan laluan baru di Labis iaitu LB 003 yang akan menghubungkan Hentian Labis ke Bekok dan ke Pekan Chaah.
Pihak Perbadanan Pengangkutan Awam Johor sedang menjalankan proses perolehan bagi melantik operator yang berkelayakan untuk menjalankan operasi di laluan tersebut. Semua laluan baru Bas Muafakat Johor dijangka akan beroperasi pada pertengahan tahun 2023.
Bagi pengoperasian di kawasan Labis setakat ini 100% telah dibiayai oleh kerajaan negeri iaitu sebanyak RM350,000.00 setahun dan sejak diperkenalkan pada tahun 2017, seramai 55,922 pengguna telah direkodkan menggunakan perkhidmatan ini sehingga Februari 2023. Terima kasih.
Ya sila Tenang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, YB EXCO. Sejauh mana PAJ mempromosikan perkhidmatan bas ini supaya rakyat tahu... keseluruhan rakyat tahulah waktu laluan dan sebagainya. Sejauh mana promosi itu dibuat? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tenang. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, pada tahun ini kita PAJ diperuntukkan... peruntukan untuk melakukan kajian tentang pempromosi dan juga insentif-insentif khas kepada pengguna-pengguna Bas Muafakat Johor. Bas Muafakat Johor setakat ini memang kita sebut rideship nya kurang, tapi walau bagaimanapun kita akan buat satu kajian khas iaitu kita nak buat kajian tentang fleksibel... laluan yang fleksibel. Sebagai contoh ada laluan hanya ramai pada waktu pagi dan petang, jadi kita hanya mungkin akan lalukan bas itu pada waktu-waktu tersebut. Pada waktu lain, kita akan buat laluan di tempat lain.
Selain itu untuk makluman Yang Berhormat Tenang, PAJ juga dalam rangka kerja untuk melihat supaya bas-bas ini dapat juga digunakan oleh pelancong-pelancong untuk pergi ke kawasan pelancongan khususnya di kawasan-kawasan pelancongan yang sedia ada, jadi mungkin kita akan sediakan satu kad yang boleh digunakan untuk semua laluan dan semua perkhidmatan awam di negeri Johor. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.
Selamat pagi dan selamat sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor 4.
Apakah bantuan yang disediakan bagi pertubuhan-pertubuhan yang sedang mengusahakan sektor pelancongan di tempatan?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tangkak atas soalan. Salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan jutaan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada badan-badan-badan bukan kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan seperti persatuan agensi pelancongan, persatuan pemandu pelancongan, persatuan homestay dan sebagainya di atas sumbangan yang telah diberikan bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan negeri Johor.
Antara bantuan yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri melalui Tourism Johor adalah seperti berikut :
1. Membantu memberi khidmat nasihat, latihan dan sokongan; 2. Membantu membuat penyelarasan dengan agensi-agensi kerajaan atau swasta; 3. Membantu mempromosi di media sosial, media cetak dan media elektronik; dan 4. Memberi bantuan kewangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, namun begitu terdapat badan-badan bukan kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan ini mestilah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan mempunyai dokumen lengkap sebagai sebuah badan atau pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.
Manakala program yang ingin dilaksanakan pula hendaklah memberi impak positif terhadap industri pelancongan negeri Johor dan disokong dengan maklumat seperti jumlah atau unjuran kedatangan pelancongan atau pendapatan kepada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu juga kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa membantu pemain-pemain industri pelancongan dan budaya tempatan.
Sepanjang 2021, 2022, MOTAC telah menyediakan pelbagai inisiatif sebagai platform bantuan dan kemudahan kepada penggiat industri pelancongan. Antara inisiatif di bawah MOTAC bagi tahun 2022 adalah seperti berikut:-
1. Bantuan Khas Tunai berjumlah RM85 juta yang telah memanfaatkan kumpulan sasarannya iaitu pemandu pelancong, syarikat agensi pelancongan, syarikat Malaysia My Second Home, usahawan kraf, pengusaha spa dan pusat urut kaki dan komuniti orang asli Mahmeri;
2. Geran padanan bagi tujuan pembaikan hotel bajet dan homestay;
3. Dana galakan bagi aktiviti promosi dan pelancongan domestik yang berjumlah RM65 juta yang melibatkan aktiviti promosi dan pengiklanan, galakan pelancongan domestik, penganjuran acara menyokong pelancongan Islam, pemberian baucar diskaun atau rebat, dan 3R Business Event iaitu Reset, Restart dan Responsible;
4. Geran padanan berkaitan seni budaya berjumlah RM50 juta melibatkan geran bagi acara-acara pelancongan dan geran bagi acara-acara kesenian dan kebudayaan;
5. Penyelenggaraan infrastruktur pelancongan berjumlah RM35 juta;
6. Program subsidi upah bersasar berjumlah RM600 juta;
7. Penjana Tourism Financing & BPMB Rehabilation Scheme berjumlah RM600 juta.
Berdasarkan kepada Belanjawan 2023, kerajaan persekutuan telah mengumumkan inisiatif di bawah MOTAC sepertimana berikut:-
1. Promosi pelancongan berjumlah RM250 juta yang melibatkan promosi pelancongan antarabangsa dan domestik. Geran padanan menggalakkan aktiviti promosi dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudayaan. Dan geran sepadan bagi usaha sama dengan syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad dan syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan charter.
2. Ada juga promosi kebudayaan, dana promosi kebudayaan yang berjumlah RM25 juta.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih atas jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO.
Soalan tambahan Tangkak adalah selain daripada bantuan-bantuan kewangan ataupun geran sepadan, Tangkak rasa pelancong sekarang terutama pelancongan dari luar negeri... luar negara ke Johor ini, mereka lebih minat dalam menerokai cita rasa di kawasan desa atau kampung.
Oleh itu soalan tambahan saya adalah bagi tempat-tempat ataupun tempat penarik pelancong atau di kampung dan desa, penduduk atau pertubuhan-pertubuhan yang ada menyediakan mungkin hiasan lampu, ada buat landscaping, adakah Tourism Johor dapat membantu dari segi mempromosikan produk-produk pelancongan di desa dan kampung ini kepada pelancong contohnya melalui leaflet yang dibekalkan, yang disediakan Tourism Johor ataupun laman web ataupun rakaman video yang dapat dibantu oleh Tourism Johor supaya lebih ramai pelancong dari luar dan dalam negara ini dapat menerokai produk-produk tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak atas soalan. Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi bila saya jawab ialah peruntukan-peruntukan, dana-dana kewangan daripada negeri dan juga federal... daripada iaitu melalui MOTAC, memang kita banyak keluarkan dana untuk mereka memperkembangkan lagi bisnes-bisnes mereka.
Tapi pun apa yang dimaklumkan sebagai oleh YB Tangkak, dia lebih kepada produk-produk tempatan. Mereka pun boleh mohon pada dana tapi mereka perlu ada reach requirements tersebut. Tapi apa pun melalui Tourism Johor, kita telah memperkasakan Johor Tourism application, satu apps iaitu Johor... Johor JTI sebagai salah satu medium untuk membantu memudahkan para pelancongan untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan-pelancongan yang kecil dan Tourism Johor juga akan buat kerjasama pintar dengan media elektronik, media cetak seperti Program Majestic Johor di astro dan media elektronik lain.
Sementara itu untuk produk-produk kecil, mereka boleh di promote kan melalui travel guide fun map daerah, Johor......... dengan izin, untuk melibatkan mereka. So mereka boleh berhubung dengan pihak Johor Tourism dan juga pihak-pihak peringkat daerah iaitu melalui Majlis Daerah dan juga di Pejabat Daerah, kita boleh libatkan mereka punya produk di dalam map, fun map daerah-daerah. So untuk perkembangkan mereka, ini untuk yang industri kecil.
Saya jemput Yang Berhormat Benut. Batu Pahat bagi undi Datuk, janji ditunaikan.
Terima kasih. Terima kasih Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Soalan nombor 5.
Minta dinyatakan apakah jenis pelaburan baharu yang telah diterima negeri Johor setakat ini dengan pecahan-pecahan mengikut sektor dan jumlah pelaburannya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Jumlah pelaburan yang diterima oleh negeri Johor pada tahun 2022 adalah RM70.6 bilion iaitu kira-kira 26.7% daripada angka Malaysia, sebanyak RM264.6 bilion. Dan daripada jumlah tersebut, sejumlah RM58.78 bilion atau 83.26% adalah daripada pelaburan asing, manakala RM11.81 bilion atau 16.74% adalah daripada pelaburan domestik. Dan jumlah projek yang diluluskan adalah 570, manakala jumlah pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan adalah 16,762.
Sektor pelaburan dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu sektor premier atau sektor utama, sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan. Nilai pelaburan bagi sektor premier
pada tahun 2022 adalah RM38.91 juta, manakala sektor pembuatan telah menerima pelaburan sebanyak RM14.58 bilion dan sektor perkhidmatan berjaya menerima nilai pelaburan yang tertinggi iaitu RM55.98 bilion.
3 sektor utama tersebut juga dibahagikan kepada pelbagai subsektor. Sektor premier dibahagikan kepada 2 subsektor iaitu sektor pertanian dan sektor perladangan serta sektor komoditi. Sektor pertanian menerima pelaburan sebanyak RM33 juta, manakala sektor... subsektor perladangan dan komoditi adalah RM5.89 juta.
Bagi sektor pembuatan, ia dibahagikan kepada 18 subsektor iaitu bahan kimia, produk kimia, peralatan saintifik, elektrik dan elektronik, produk mineral, bukan logam dan sebagainya.
5 subsektor utama yang menerima pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan ialah bahan kimia dan produk kimia RM5.2 bilion; kedua adalah peralatan saintifik dan pengukuran RM3.65 bilion, elektrik dan elektronik RM1.96 bilion; keempat adalah produk mineral RM736 juta; dan kelima adalah tekstil dan produk tekstil RM432 juta.
Bagi sektor perkhidmatan pula, ia dibahagikan kepada 10 subsektor iaitu maklumat dan komunikasi, utiliti, hartanah, perdagangan, pengedaran, perkhidmatan sokongan dan sebagainya.
5 subsektor dalam sektor perkhidmatan yang menerima pelaburan tertinggi adalah sektor maklumat dan komunikasi RM51 bilion iaitu untuk pusat data. Kedua adalah utiliti RM2.8 bilion; ketiga adalah hartanah RM1.1 bilion; keempat adalah perdagangan pengedaran ataupun logistik RM521 juta; dan kelima adalah perkhidmatan sokongan RM317 juta. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Subsektor pertanian yang diumumkan tadi menunjukkan satu jumlah pelaburan yang masih rendah. Sedangkan negeri kita Johor telah memulakan Jemaluang Dairy Valley sebagai contoh, kerjasama dengan ECER. Kemudian baru-baru ini JCorp ada juga melancarkan Farmbyte Food Hub. Ini adalah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan lagi ekosistem keselamatan bekalan makanan. Jadi kalau kita lihat dari segi pengalaman dan juga usaha-usaha yang dah dibuat selama ini untuk menjadikan Johor sebagai pengeluar makanan yang besar, kita dari segi pengeluaran buah-buahan nombor 1 atau nombor 2, sayur-sayuran nombor 1 atau nombor 2 dalam negara. Itu menunjukkan bahawa negeri kita ini ada potensi untuk meningkatkan ekosistem dari segi keselamatan bekalan makanan.
Jadi, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin tahu adakah sebarang fokus secara spesifik yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan FDI di dalam sektor pertanian dalam bentuk kerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah ataupun dengan GLC kerajaan negeri? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Benut. Memang benar kerajaan negeri mengambil berat tentang kemajuan sektor pertanian dan memang dalam perancangan adalah kerjasama dengan ECERGC untuk Jemaluang Dairy Valley dan kerajaan negeri sedang dalam usaha untuk membawa satu kertas dasar kepada Jawatankuasa Penyelarasan Industri antara kerajaan negeri Johor dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk kawasan Segamat dan juga Mersing sebagai kawasan pertanian yang memberi fokus kepada sektor pertanian dan Jawatankuasa Pertanian Dan Kemajuan Luar Bandar juga dalam usaha untuk membincangkan dengan Kementerian untuk membangunkan kawasan
pertanian moden di Ayer Hitam dan inilah usaha-usaha untuk memenuhkan sektor pertanian yang setakat ini. Terima kasih.
Ya, sila Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mengikut Ucapan Bajet Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Bajet Persekutuan 2023. Yang Amat Berhormat berkata bahawa Malaysia sebenarnya mempunyai lebih daripada 100 jenis insentif pelaburan dan lebih daripada 30 agensi promosi. Jadi, masalahnya ialah sekarang pelaburan yang kita tarik, banyak pelaburan yang tidak mempunyai nilai tambah tinggi, value added yang tinggi. Maka, sekarang kerajaan tumpu kepada menarik ataupun merancakkan ekonomi, menarik pelaburan dari sektor teknologi tinggi. Jadi, apakah arahan atau apakah arah yang kita menarik pelaburan bagi negeri Johor? Sekian, terima kasih.
Tiga arah itu adalah telah pun dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Benut iaitu kita fokus kepada 3H, High Impact, High Value dan High effort adalah 3 hala tuju yang kita, kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan memberi fokus dan antaranya kita dari segi perkhidmatan, sektor perkhidmatan, sektor pertanian dan juga sektor pembuatan kita cuba berbincang dan juga mengadakan usaha untuk menarik pelaburan yang menuju ke 3H, strategi 3H ini. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Kemelah.
Selamat pagi, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 6. Terima kasih.
Program Duta Perpaduan Johor telah dijalankan tahun lalu, apakah sebenarnya peranan Duta Perpaduan dan apakah impaknya kepada masyarakat serta perancangan kerajaan negeri untuk memastikan program ini memberi impak kepada Bangsa Johor?
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih YB Kemelah. Salam Bangsa Johor, salam perpaduan, salam Maju Johor. Untuk maklumat seisi Dewan sekalian, Program Duta Perpaduan Johor merupakan platform melahirkan orang muda Johor yang mempunyai kebolehan hardskill dan softskill, dengan izin, dengan matlamat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan generasi muda agar lebih kompetitif serta menguasai aspek 3C iaitu Critical Thinking, Creativeness dan Communication. Sejajar dengan itu, maka Duta Perpaduan Johor haruslah memainkan peranan yang progresif. Antaranya adalah mendorong Institusi Raja, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Kedua, pempengaruh untuk penghebah luasan mesej-mesej positif dan pendidikan perpaduan. Ketiga, pemangkin kepada pengukuhan perpaduan dan penerapan nilai kebersamaan antara kaum.
Sehubungan itu, dengan peranan dan tanggungjawab yang diberikan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar Duta Perpaduan Johor dapat mencapai objektif-objektif seperti:
1. Meningkatkan sahsiah jati diri dan ilmu.
2. Membangunkan modal insan dan melahirkan generasi yang mempunyai semangat patriotisme dan semangat cinta negara yang tinggi.
3. Membentuk pemikiran rasional dan matang ketika mendepani isu-isu semasa, perpaduan serta boleh menepis fahaman ekstremis yang menjadi ancaman kepada kestabilan dan keselamatan negara. Mendaya upayakan kebolehan memahami
sensitiviti dan jiwa perpaduan yang kental sebagai pembimbing generasi akan datang bagi memastikan perpaduan terus terpelihara.
Justeru itu, dengan pencapaian objektif Duta Perpaduan Johor, maka ianya memberi impak kepada masyarakat dari pelbagai aspek seperti peningkatan keupayaan Duta Perpaduan Johor sebagai pembimbing generasi muda. Duta Perpaduan Johor beridentiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin dan tanggungjawab. Duta Perpaduan Johor mempunyai softskill dan hardskill, dengan izin, dalam menangani isu dan cabaran semasa.
Duta Perpaduan Johor mula diperkenalkan pada bulan Ogos tahun 2022 yang lalu dan hampir satu tahun perlaksanaannya. Bagi melihat pencapaian objektif dan impak Duta Perpaduan Johor, maka, analisa dan penilaian program sedang berjalan dari masa ke semasa. Justeru itu, bagi memastikan program ini memberi impak besar kepada Bangsa Johor, maka semua program anjuran JPNIN Johor akan melibatkan penyertaan Duta Perpaduan Johor. Dalam masa yang sama, Duta Perpaduan Johor diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek bersama Komuniti Rukun Tetangga di peringkat daerah. Ini secara langsung akan meningkatkan kebolehan insaniah dan mengeratkan hubungan antara golongan muda dengan komuniti berbilang kaum.
Sebagai maklumat, hingga kini pelaksanaan Duta Perpaduan telah menarik minat beberapa pihak antaranya kerajaan negeri Melaka melalui EXCO Perpaduan Melaka yang telah membuat kunjungan hormat pada 9 Februari tahun 2023 untuk mendapat imput pelaksanaan Duta Perpaduan Johor supaya ia dapat dilaksanakan di negeri Melaka.
Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perpaduan Negara atau dinamakan sebagai Max Unity di peringkat Kementerian Perpaduan Negara yang akan diadakan pada bulan April ini telah memutuskan agar saya selalu EXCO Perpaduan Johor membuat pembentangan mengenai perlaksanaan Duta Perpaduan Johor ini. Di samping itu, JPNIN Johor juga telah diminta untuk membuat pembentangan pelaksanaan Duta Perpaduan Johor dalam sesi libat urus Sekretariat Rukun Negara di peringkat Kementerian pada 8 Mac 2023 yang lalu. Ini membuktikan pelaksanaan Duta Perpaduan Johor berupaya menjadi pemangkin kepada perpaduan dan penyatupaduan masyarakat berbilang kaum selaras dengan konsep Malaysia Madani untuk membina dan mencorak masa hadapan yang lebih mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap insan.
Semua perkara ini berpadanan dengan konsep Bangsa Johor yang dihasratkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang mana bukan sahaja menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang sejahtera dan progresif, malah berbudaya menjadi Malaysia lebih sejahtera dan harmoni. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.
Penerimaan peguam syarie di Johor setiap tahun amatlah sedikit sedangkan permohonan yang diterima begitu ramai. Oleh yang demikian, apakah ciri khusus yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dalam melahirkan lebih ramai peguam syarie di negeri Johor?
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Datuk Speaker, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Pasir Raja membangkitkan persoalan mengenai penerimaan atau pengambilan peguam syarie di negeri Johor yang amat sedikit setiap tahun. Untuk makluman Dewan yang mulia, sehingga hari ini seramai 192 orang
peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor. Peguam syarie di negeri Johor diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan 3 tahap. Pertama, Kelayakan berdasarkan Kaedah 9, Kaedah Peguam Syarie. Kedua, berdasarkan peperiksaan bertulis dan ketiga, menerusi temu duga.
Majlis Agama Islam Johor menetapkan bahawa calon peguam syarie yang berkualiti haruslah melepasi markah 60% bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temu duga. Bagi peringkat temu duga pula, calon perlu melepasi markah 80% untuk lulus. Markah penilai ini akan dibawa dalam Jawatankuasa Peguam Syarie untuk di bentang dan jika di peringkat Jawatankuasa meluluskan, maka calon-calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk mendapatkan pengesahan lantikan.
Adalah diperakui bahawa penerimaan masuk peguam syarie memang agak ketat. Saya bacakan sedikit jumlah penerimaan masuk sejak tahun 2020 sehingga tahun 2022 yang baru lalu. Pada tahun 2020, yang memohon untuk masuk peperiksaan adalah seramai 82 orang, namun yang berjaya hanya 5 orang. Pada tahun 2021, yang memohon adalah seramai 65 orang tetapi yang berjaya hanya 7 orang dan pada tahun lepas 2022, yang memohon seramai 87 orang tetapi yang berjaya diterima masuk hanyalah seorang.
Punca penerimaan Peguam Syarie Negeri Johor amat sedikit pengambilannya adalah kerana pertama, calon yang memohon sebahagian besarnya tidak mahir dan tidak menguasai penulisan jawi kerana soalan dan jawapan yang diberikan dalam proses peperiksaan adalah menggunakan tulisan jawi. Ini adalah antara karakter dan model unik kepada peguam-peguam syarie di negeri Johor Darul Ta’zim. Saya juga salah seorang Peguam Syarie Negeri Johor, Tuan Speaker. Saya merujuk peruntukan seksyen contohnya kesalahan umum dibawa dalam Undang-Undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut adalah mengenai Undang-Undang Negeri Johor. Adalah diperakui bahawa semua peguam-peguam dalam Malaysia boleh memohon untuk diterima masuk sebagai Peguam Syarie Negeri Johor tetapi mestilah menepati kelayakan yang ditetapkan oleh negeri Johor itu sendiri. Dan yang ketiganya, mereka kurang mahir kepada membaca jawi dan ada calon yang juga tidak faham kepada kehendak soalan yang dikenakan. Seorang peguam sivil boleh juga memohon sebagai peguam syarie tetapi kelayakannya perlulah juga menguasai penulisan dan tulisan jawi. Dan Datuk Speaker, saya juga seorang merupakan peguam sivil di negara ini. (Dewan bertepuk).
Bagi memastikan negeri Johor dapat melahirkan lebih banyak, lebih ramai peguam syarie yang berkualiti, Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil inisiatif dengan melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan-soalan tahun-tahun yang lalu sebagai rujukan bagi menghadapi peperiksaan dan calon yang berminat boleh membeli buku soalan ini melalui medium yang dimaklumkan kelak. Penjualan buku-buku soalan ini juga akan diumumkan penjualannya dalam masa yang terdekat. Namun, yang tak boleh kita bantu Datuk Speaker, adalah berkenaan pemahaman dan penguasaan tulisan jawi itu sendiri. Ia kena bergantung kepada individu yang memohon.
Majlis Agama Islam Negeri Johor turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor untuk menganjurkan Kursus Persediaan Peperiksaan kepada calon-calon peguam syarie terutamanya dalam penguasaan tulisan jawi. Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 menyatakan bahawa mereka yang memohon sebagai Peguam Syarie Negeri Johor hendaklah memenuhi kehendak-kehendak berikut:- Kaedah 9, kelayakan sebagai peguam syarie iaitulah saya bacakan sedikit Datuk Speaker. Pertamanya, hendaklah beragama Islam. Keduanya, warganegara Malaysia. Seorang yang berkelakuan baik, tidak pernah disabitkan oleh kesalahan di mana-mana Mahkamah, bukanlah seorang yang bankrap, tidak pernah dipecat atau kehilangan kelayakan.
Sekiranya mereka seorang peguam sivil juga memiliki kelayakan akademik, sama ada Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Syariah dan sekiranya mereka merupakan seorang peguam sivil, mereka perlu memiliki Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam atau yang setaraf dengannya dan yang paling penting di sini Datuk Speaker, telah lulus ujian bertulis dan temu duga yang disediakan. Di sinilah ramai calon-calon kita tidak dapat melepasinya, Datuk Speaker. Di antara yang paling besar kelemahannya yang kita dapati adalah penguasaan dalam tulisan jawi itu sendiri.
Datuk Speaker, mereka yang diterima masuk sebagai peguam syarie akan nanti menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk mengamal di negeri Johor dalam tempoh setahun dan setiap tahun perlulah mereka perbaharui. Terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih kepada jawapan daripada YB EXCO. Soalan tambahan saya adalah dengan bilangan peguam syarie yang terhad di negeri Johor, adakah kes-kes seperti fasakh, pengesahan lafaz cerai, hak penjagaan anak, daftar nikah luar negara, faraid dan lain-lain dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Seperti mana yang saya maklumkan tadi, ketika ni seramai 192 orang peguam syarie yang bertauliah sedang pun berkhidmat dalam negeri Johor dan alhamdulillah kesemua mereka ini mampu dan berupaya untuk mengendalikan kes-kes dalam Mahkamah Syariah kita, tambahan pula selain daripada 192 orang peguam syarie swasta ini, terdapat juga Jabatan Bantuan Guaman yang bersedia memberikan khidmat kepada mereka yang layak menerusi perkhidmatan yang disediakan. Dan berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai peguam syarie, juga mengikuti rapat statistik penyelesaian kes-kes semasa dalam Mahkamah Syariah kita, alhamdulillah Yang Berhormat Pasir Raja, kesemua kes-kes ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun sebahagiannya mungkin terpaksa memakan sedikit masa itu bukan disebabkan oleh kelemahan peguam itu sendiri tapi adalah disebabkan oleh kekangan ataupun cabaran mengikut kes-kes yang tertentu. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.
Apakah status terkini rumah kos rendah dan kos sederhana serta rumah kedai yang terbengkalai di Taman Parit Unas Laut, Jalan Abdul Rahman?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, selamat pagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan YB Maharani berbunyi, rumah kos rendah dan kos sederhana serta rumah kedai yang terbengkalai di Taman Parit Unas Laut, Jalan Abdul Rahman, apakah statusnya?
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat, projek ini merupakan projek sakit, yang sepatutnya siap pada bulan Oktober 2022. Kerajaan negeri melalui PKPJ ketika ini, sedang melaksanakan penyelarasan projek sakit untuk diselesaikan sehingga memperolehi CCC. Bagi projek ini pihak pemaju akan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa PDRC, Plan Design Review Committee, dalam masa yang terdekat. PDRC ini adalah satu Jawatankuasa Task Force melihat projek-projek pembangunan di seluruh Johor, dia dianggotai oleh PTG, Plan Malaysia, PBT dan pemaju itu sendiri. Terima kasih.
Terima kasih kepada Datuk Speaker dan juga YB EXCO. Oleh kerana projek perumahan ini adalah merupakan projek sakit dan diharapkan kepada pihak kerajaan dapat mengadakan langkah yang secepat mungkin untuk mengatasi masalah ini sebab projek perumahan ini telah pun lebih kurang 10 tahun terbengkalai dan kepada pemilik-pemilik rumah ini terutamanya B40, memang sangat memerlukan perumahan yang mana sekiranya projek perumahan ini dapat diteruskan ianya akan membantu B40 untuk memiliki rumah dan juga tempat tinggal. Jadi, saya mengharapkan supaya dapat disegerakan projek ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, setakat 31 Januari 2023 tahun ini, sebanyak 33 projek sakit yang ada di seluruh Johor. Untuk, boleh saya kongsikan kepada YB, bila sebut projek sakit ini YB, dia dah tentulah projek sakit dan projek terbengkalai, dia bukan di dalam bidang kuasa kerajaan negeri, itu semua YB kena tahu. Bila sebut projek sakit, isu dia banyak, sama ada pemaju lari, pemaju tinggalkan projek, isytihar bankruptcy dan tinggalkan projek mereka. Selepas itu, pemaju tak ada inisiatif langsung, atau kontraktor tak ada inisiatif langsung untuk menyiapkan rumah tersebut. Inilah isu-isu yang dihadapi oleh semua projek-projek sakit seperti isu yang YB bangkitkan ini, di peringkat pemaju sendiri, datang kepada kami di Perumahan, nak bekerjasama dengan kerajaan negeri, untuk menyiapkan projek-projek ini. Bila pemaju ada inisiatif untuk datang kepada kerajaan di peringkat Perumahan jadi kita akan masukkan dia dalam PDRC, PDRC adalah satu Jawatankuasa yang tadi saya sebutkan, di dalamnya ada dan dipengerusikan oleh saya sendiri, ada, ada Pengarah Perumahan, ada Dato’ PTG, ada PBT, ada PLAN Malaysia, jadi di dalam PDRC itu kita akan melihat isu dia di mana. Dan, juga jika perlu agensi-agensi seperti TNB, SAJ, IWK yang terlibat dalam isu ini kita akan panggil. Syaratnya, mesti ada inisiatif daripada pemaju datang kepada kerajaan untuk minta kerajaan bantu untuk selesaikan isu ini. Baru perkara itu boleh dibuat. Sebab isu-isu projek sakit ini dia melibatkan undang-undang dan perjanjian antara pembeli, bank dan lawyer. Jadi, untuk makluman Yang Berhormatlah. Terima kasih.
Jemput Benut.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Baru-baru ini kita ada mendengar tentang usaha sama yang dibuat oleh Kementerian dengan negara jiran kita, Singapura sebagai contoh, untuk menangani isu perumahan sosial ini ataupun rumah kos rendah dan sebagainya. Jadi, soalan saya ialah adakah kerajaan negeri juga terlibat bersama-sama dengan pihak Kementerian, lebih-lebih lagi Johor, yang lebih hampir dengan negara jiran kita Singapura sama ada dalam bentuk kerjasama dengan Housing Development Board dan sebagainya untuk mencari jalan terbaik, cara mana dan bagaimana kita moving forward dengan izin, dari segi pembangunan sosial housing ini. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Benut. Seperti semua sedia maklum bahawa di peringkat Menteri KPKT, Yang Berhormat Ng Kor Ming, ada buat usaha sama bersama kerajaan Singapura tetapi setakat ini di peringkat kerajaan Johor belum lagi ada maklumat untuk penyelarasan atau gerak kerja yang ditaklimatkanlah oleh kerajaan negeri. Setakat ini belum ada lagi YB. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Penawar.
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Soalan saya soalan nombor 9.
Nyatakan jenis-jenis bantuan berbentuk sokongan moral dan mental yang ditawarkan oleh kerajaan kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada mereka?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Penawar. Soalan yang ditanyakan oleh YB Penawar adalah jenis-jenis bantuan berbentuk sokongan moral dan mental yang ditawarkan oleh kerajaan kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan bentuk perlindungan yang diberikan kepada mereka?
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Unit Kaunseling dan Motivasi, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, mempunyai beberapa bentuk bantuan sokongan moral dan mental seperti perkhidmatan kaunseling secara individual atau bersama keluarga, yang meliputi aspek psikologi serta bantuan selain daripada keperluan makanan seharian. Sekiranya, isu yang melibatkan pihak Polis atau hospital, kaunselor akan membuat surat rujukan dan konsultasi bersama klien untuk proses yang seterusnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Pembangunan Wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, melalui programnya Wanita Anti Jenayah, merupakan salah satu inisiatif untuk menjadikan komuniti sebagai Agen Wanita Anti Jenayah, melalui psiko-sosial dan aktiviti dalam komuniti khususnya wanita bagi meningkatkan sokongan moral dan mental pada wanita. Jabatan Pembangunan Wanita juga berperanan dalam memberi panduan kepada masyarakat tentang pentingnya usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.
Pada tahun 2022, program meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita diperkenalkan di mana Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor bekerjasama dengan kaunselor-kaunselor berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, kaunselor di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan kaunselor di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) untuk mempergiatkan lagi program-program bersifat psikologi wanita.
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat turut menganjurkan sambutan Hari Antarabangsa menangani keganasan terhadap wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun. Ianya dapat memberi kesedaran tentang wujudnya isu keganasan terhadap wanita dan masyarakat boleh memainkan peranan masing-masing untuk membantu menangani isu ini daripada terus menerus berlaku. Perkhidmatan kaunseling juga merupakan salah satu bantuan dan sokongan emosi yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor bagi membantu individu yang mengatasi konflik keluarga seperti keganasan rumah tangga, individu yang mengalami isu tersebut boleh mendapatkan kaunseling individu secara terapi atau terapi berpasangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga kini terdapat seramai 11 orang panel kaunselor yang berkhidmat di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 7 orang di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan 16 orang di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sepanjang tahun 2020, Datuk Speaker, sehingga Februari 2023, sebanyak 1,134 sesi yang melibatkan 4,089 orang klien telah dilaksanakan oleh Unit Kaunseling, LPPKN Negeri Johor. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti Yang Berhormat EXCO katakan tadi, berapakah jumlah kes berkaitan keganasan rumah tangga yang merujuk kepada sesi kaunseling di bawah YPKDT dan LPPKN dan apakah usaha kerajaan negeri dalam memperhebatkan usaha, program kaunseling yang telah dijalankan bagi tahun 2023?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim telah mewujudkan satu inisiatif melalui Unit Kaunseling dan Motivasi bagi mempromosi kesejahteraan psikologi dan menangani masalah mental dalam kalangan masyarakat Johor. Kerajaan negeri Johor sentiasa berusaha dalam menyantuni Bangsa Johor dan antara usaha bagi tahun 2023, adalah satu program intervensi keluarga dan komuniti diperluaskan bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi dan mental dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00 seperti yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 1 Disember 2022 yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, program ini bertujuan untuk menjadikan institusi kekeluargaan sebagai agen utama pembangunan dan kesejahteraan secara holistik, ia akan memanfaatkan seramai 5,000 penerima manfaat di negeri Johor melibatkan kanak-kanak, dewasa hingga ke warga emas. Program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0 ini, bermula dari tahun 2021, telah menerima sebanyak 10 kes rujukan mangsa keganasan rumah tangga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, manakala jumlah sesi dan klien kes keganasan rumah tangga yang dikendalikan oleh LPPKN bermula tahun 2020 hingga Februari 2023, menunjukkan kes tertinggi adalah pada tahun 2021 iaitu sebanyak 4 sesi dan 3 klien, diikuti pada tahun 2022 iaitu 3 sesi dan 2 klien tentang isu keganasan rumah tangga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, manakala jumlah sesi dan klien kes keganasan rumahtangga yang dikendalikan oleh LPPKN bermula tahun 2020 hingga Februari 2023, menunjukkan kes tertinggi adalah pada tahun 2021 iaitu sebanyak 4 sesi dan 3 klien diikuti pada tahun 2022 iaitu 3 sesi dan 2 klien tentang isu keganasan rumah tangga. Diikuti tahun 2020 pula hanya 2 sesi dan 2 klien terlibat dalam kes keganasan rumahtangga. Setakat Februari 2023, seramai 1 kes sahaja yang melibatkan 1 klien berkaitan dengan isu keganasan rumahtangga. Jumlah keseluruhan kes keganasan rumahtangga bagi tahun 2020 hingga Februari 2023 adalah sebanyak 10 sesi yang melibatkan 8 orang klien.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin saya kongsikan bahawa Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Johor berperanan memberi panduan kepada masyarakat tentang pentingnya usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita. Seramai 20,541 sukarelawan telah dilantik mewakili 26 Parlimen di Negeri Johor termasuk beberapa anggota Amanita iaitu satu unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilaporkan kepada masyarakat.
Pada masa ini, Pergerakan Skuad Wanita Anti Jenayah di bawah Jabatan Pembangunan Wanita sentiasa bergerak aktif dalam menyantuni masyarakat bagi menangani keganasan terhadap wanita tanpa melibatkan mana-mana peruntukan daripada kementerian atau kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, namun setiap kes yang dirujuk ke unit kaunseling, jabatan-jabatan tidak dapat pasti sama ada ia menjadi kes mahkamah atau tidak kerana ianya adalah pilihan setiap klien untuk melakukan langkah seterusnya. Ada yang pihak jabatan terima di mana klien hanya ingin mendapatkan sokongan moral ataupun ada yang hanya mendengar luahan mereka. Tetapi setiap klien yang merujuk kepada kaunseling jabatan, akan tetap menerima khidmat nasihat dan panduan sehingga semuanya selesai.
Terima kasih Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Tiram.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11.
Berapakah peratus terkini penduduk di DUN Tiram yang telah mengambil dos penggalak yang kedua? Apakah usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan usaha mendapatkan dos penggalak di kalangan Bangsa Johor?
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih soalan daripada YB Tiram. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor, salam perpaduan.
Untuk maklumat seisi Dewan, pelaksanaan pemberian vaksin COVID-19 dos penggalak ataupun booster dose telah bermula pada 13 Oktober 2021 dengan menggunakan vaksin pfizer. Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma. Sehingga 6 Mac 2023, seramai 2,156,483 atau bersamaan dengan 78.9% penduduk dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di negeri Johor telah menerima vaksinasi COVID-19 dos penggalak pertama. Dan seramai 87,343 atau bersamaan dengan 3.2% orang telah lengkap menerima dos penggalak kedua. Dan saya perlu meminta maaf dengan YB Tiram kerana saya tak dapat bekalkan apa ini jumlah penerima vaksin dos penggalak kedua mengikut kawasan DUN kerana pihak JKNJ tiada maklumat tersebut. Tetapi saya boleh bekalkan dengan mengikut daerah, yang saya berikan di daerah Johor Bahru jumlah penerima dos penggalak kedua adalah 4.2%, bagi Kulai 2.5%, bagi Pontian1.5%, Batu Pahat 2.3% dan Muar 3.8%, Tangkak 2.3%, Segamat 2% dan Kluang 2.5%, Mersing 1.2% dan Kota Tinggi 1.9%. Dengan purata negerinya 3.2%.
Bagi penduduk dewasa yang berusia 18 tahun ke atas yang layak tetapi masih belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 pertama dan kedua, diharapkan dengan segera ke klinik kesihatan ataupun klinik swasta yang dikhaskan untuk segera mendapatkan bagi dos penggalak kedua tersebut. Ok, begitu sahaja jawapan saya, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.
Bas Muafakat Johor merupakan inisiatif Kerajaan Johor untuk mengurangkan beban rakyat dengan menyediakan pengangkutan awam percuma, selesa dan berkesan. Adakah kerajaan bercadang meluaskan laluan perjalanannya contohnya di laluan utama Muar – Yong Peng agar turut dimanfaatkan oleh penduduk setempat selain mengurangkan kesesakan lalu lintas?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Naning.
Perkhidmatan bas percuma di negeri Johor adalah inisiatif dan keprihatinan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma dan meringankan kos sara hidup kepada seluruh warga negara Malaysia terutama yang bermastautin di negeri Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Naning, bagi perkhidmatan bas laluan rentas daerah, pengguna biasanya menggunakan perkhidmatan bas ekspres dan bas berbayar yang menjalankan operasi di kawasan atau jajaran laluan tersebut. Bagi pengguna dari Muar yang ingin ke Yong Peng, mereka perlu menaiki bas Mayang Sari ke Terminal Bas Batu Pahat dahulu sebelum mengambil perkhidmatan bas ke Yong Peng.
Sebelum ini Syarikat Lian Hoe Sdn. Bhd. ada menjalankan perkhidmatan bas dari Yong Peng ke Parit Sulong ke Muar dan balik ke Yong Peng. Namun syarikat ini telah menghentikan operasinya atas faktor kekangan kewangan bagi menampung kos operasi harian.
Kebanyakan laluan Bas Muafakat Johor dijalankan di dalam sempadan kawasan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Perkhidmatan yang melibatkan rentas daerah dan kawasan PBT perlu mendapat persetujuan bersama PBT yang terlibat kerana akan melibatkan perkongsian kos pengoperasian. Jika terdapat permintaan yang tinggi yang melibatkan pengoperasian lebih dari satu kawasan PBT, pihak PAJ akan membawa cadangan bagi rundingan perkongsian kos kerana operasi Bas Muafakat Johor dijalankan setelah mendapat persetujuan Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat dan kerajaan negeri. Jarak perjalanan yang jauh juga merupakan aspek yang perlu dititikberatkan supaya perkhidmatan Bas Muafakat Johor dapat digunakan pada tahap yang maksimum. Jarak yang jauh juga menyebabkan pertambahan kilometer yang tinggi dan sekali gus melibatkan kos operasi harian perkhidmatan Bas Muafakat Johor yang akan ditanggung oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Bukit Naning, saya telah menerima sendiri surat permohonan daripada Yang Berhormat untuk diadakan Bas Muafakat Johor di kawasan Yang Berhormat di DUN Bukit Naning. Dan insya-Allah pihak kami akan menilai kebolehlaksanaan Bas Muafakat Johor di kawasan Yang Berhormat. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat pagi, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 13.
Adakah kerajaan mempunyai sebarang perancangan bagi memajukan sektor pelancongan khusus di kawasan Pekan Nanas?
Selamat sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas atas soalan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor 2014 – 2023, sememangnya terdapat pelbagai cadangan untuk membangunkan industri pelancongan di kawasan Pekan Nanas. Antaranya selaku pintu masuk bagi tapak RAMSAR Sungai Pulai di kawasan Jeram Batu, pintu masuk bagi air terjun dan taman ekorimba Gunung Pulai 1 dan 2 serta pusat perhubungan di antara Johor Bahru serta destinasi pelancongan daerah Pontian.
Terdapat juga cadangan bagi mewujudkan destinasi pelancongan agro seperti taman bertemakan agri nanas di Kampung Sawah, Pekan Nanas. Taman bertemakan ini bukan sahaja akan menjadi salah satu tarikan pelancongan baharu di daerah Pontian, tetapi juga turut akan berperanan sebagai pusat rujukan serta penyelidikan dalam bidang pertanian nanas. Taman tema ini juga akan jadi pelengkap kepada Muzium Nanas sedia ada yang terletak berhampiran dengan Pekan Nanas.
Antara komponen pembangunan taman tema ini yang dicadangkan adalah sepertimana berikut :
1. Pusat Proses dan Hasil Produk Nanas 2. Ladang Pertanian 3. Pusat Penjualan Hasil Nanas 4. Ruang Permainan Nanas Maze 5. Farmstay dan Ruang Persembahan Kebudayaan 6. Ruang TIC, Seminar dan Latihan 7. Pejabat Pengurusan
Walau bagaimanapun, cadangan ini masih belum dapat dilaksanakan lagi kerana tindakan pelaksanaannya memerlukan perancangan yang sangat rapi khususnya di dalam mengenal pasti pengusaha lokasi pengambilan tanah, latihan dan pengambilan pekerja untuk serta peruntukan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Pontian juga telah melaksanakan inisiatif dengan menubuhkan Jawatankuasa Focus Group Discussion Pelancongan Daerah Pontian. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menyokong dan membantu Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Pontian yang dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah.
Objektif penubuhan Focus Group Discussion ini adalah untuk memperkasa promosi produk atau lokasi pelancongan di dalam daerah Pontian selain mengemas kini inventori produk atau lokasi pelancongan daerah Pontian bersama pihak berkepentingan antara agensi atau jabatan serta badan bukan kerajaan.
Majlis Perbandaran Pontian juga telah melaksanakan promosi produk atau lokasi pelancongan melalui digital board (papan digital) milik Majlis Daerah Pontian di lokasi seperti di persimpangan Pusat Perdagangan Pontian, persimpangan Jalan Alsagoff, persimpangan empat Benut, persimpangan Jalan Sawah Pekan Nanas dan Kukup Laut.
Selain itu, Majlis Perbandaran Pontian juga telah menyediakan brosur pelancongan daerah Pontian yang dinamakan Jom Pontian dan terdapat QR Code di dalam brosur tersebut untuk memudahkan pelancong untuk melawati lokasi-lokasi produk pelancongan di dalam inventori yang telah dikemas kini. Sekian, terima kasih.
Ya sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO.
Soalan tambahan saya, berapakah statistik pelancong yang datang ke Pontian khususnya Pekan Nanas pada tahun 2022? Yang kedua, setakat ini berapa produk pelancongan di kawasan Pekan Nanas? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi rekod statistik pengunjung ke daerah Pontian adalah sebanyak 462,970 orang dan jumlah bagi jumlah pengunjung ke produk pelancongan di kawasan Pekan Nanas tahun 2022 adalah 94,498 merangkumi 20% pengunjung keseluruhan. Produk pelancongan di Pekan Nanas, untuk eko pelancongan ada Sinar Eco Resort, untuk produk agro pelancongan ada Nitar Farm, Pusat Teknologi Nanas Alor Bukit, untuk rekreasi ada Lata Seri Pulai, Nur Jannah Kem dan Eco Resort, untuk IKS dan
kraftangan ada fast burger cendawan, untuk makanan ada nanas cafe dan kopi dan mentega dan untuk penginapan D’Hijrah Residence. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Soalan saya, soalan 15.
Apakah perancangan kerajaan dalam mengatasi kesesakan dari arah Bandar Tiram/Bandar Cemerlang menuju pusat bandar yang sesak teruk pada waktu puncak terutama di kawasan Taman Desa Cemerlang/Taman Desa Jaya?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tiram.
Yang Berhormat Tiram bertanyakan tentang kesesakan dari arah Bandar Tiram/Bandar Cemerlang menuju Pusat Bandar yang sesak teruk pada waktu puncak terutama di kawasan Taman Desa Cemerlang/Taman Desa Jaya.
Jalan yang dimaksudkan adalah laluan persekutuan FT003 Johor Bahru – Kota Tinggi. Kesesakan ini adalah berpunca daripada kadar bilangan aliran trafik yang tinggi hingga memasuki ke taman-taman perumahan berkepadatan tinggi di kawasan tersebut seperti Taman Perindustrian Cemerlang, Taman Desa Jaya dan Taman Mount Austin dan berlaku hanya pada waktu puncak.
Jalan Tebrau ke Puteri Wangsa sedia ada mempunyai 3 lorong, namun berlaku pengurangan kepada 2 lorong dan kembali ke 3 lorong selepas susur Taman Puteri Wangsa. Pengurangan lorong tersebut menjadi faktor utama kesesakan ini.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, susulan dari pemerhatian pihak JKR Daerah Johor Bahru mendapati kesesakan yang berlaku di kawasan tersebut adalah akibat pertembungan aliran trafik di antara persimpangan yang menjadikan kesesakan lebih buruk terutama pada waktu puncak.
Cadangan awal yang boleh dipertimbangkan untuk membantu mengurangkan kesesakan aliran trafik ini adalah dengan membina laluan bertingkat (elevated route) dari selepas persimpangan Taman Desa Jaya hingga sebelum Taman Pandan berhadapan Kem Desa Perwira Tebrau di Pandan untuk laluan Kota Tinggi ke Johor Baharu. Permohonan projek ini boleh diangkat di dalam Rolling Plan akan datang tertakluk kepada senarai keutamaan kerajaan negeri.
Sementara itu untuk makluman Yang Berhormat Tiram, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru juga sedang menaik taraf sistem lampu isyarat kepada sistem kawalan berpusat di persimpangan lampu isyarat di sepanjang laluan tersebut. Sistem baharu ini membolehkan lampu isyarat dikawal secara dinamik dan automatik melalui pelan-pelan pemasangan lampu isyarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru. Justeri itu, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan dengan pengurusan pemasangan lampu isyarat yang cekap mengikut keperluan semasa di tapak.
Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan, MBJB juga telah membangunkan laman sesawang ittrafik.mbjb.gov.my yang memaparkan keadaan semasa aliran trafik melalui cerapan gambar CCTV MBJB. Ittrafik MBJB juga boleh didapati dalam bentuk aplikasi android dan aplikasi mbjbsport version 2, dengan izin. Seterusnya, bagi perancangan jangka masa panjang, saya akan meminta
pihak pengangkutan awam negeri Johor untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di kawasan tersebut. Dengan penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap, dapat mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di atas jalan raya secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalulintas. Terima kasih.
Ye, sila Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas jawapan dan perancangan yang akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan trafik yang ada di kawasan tersebut. Cuma, saya minta satu kajian dibuat kerana dilihat di kawasan tersebut, khususnya daripada arah Bandar Tiram selepas persimpangan lampu isyarat Taman Desa Cemerlang di Petronas bawah itu, kalau kita menuju ke arah pusat bandar, sebelum susur ke persimpangan bertingkat menghala ke kawasan perindustrian Desa Cemerlang, kawasan Taman Pelangi Indah, Taman Gaya, dekat situ kalau kita tengok struktur ataupun kita tengok keadaan jalan raya di situ, sebelum susur naik ke atas itu, di situlah letaknya jejantas, di situ juga ada satu hentian bus stop, dengan izin. So, mungkin boleh dibuat satu kajian untuk melihat kesesuaian kerana dekat situlah yang menyebabkan jadi bottleneck, dengan izin, dekat situ khususnya pada waktu puncak. Sebab kesesakan itu berlarutan sehingga ke Bandar Tiram yang menyebabkan kalau mereka daripada arah Bandar Tiram menuju ke Daerah Johor Bahru ini paling tidak pun sekurang-kurangnya makan masa sehingga sejam setengah untuk sampai pada waktu pagi. Jadi, saya harap satu kajian dapat dibuat untuk melihat kesesuaian, kemudahan yang ada di situ. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tiram. Saya mengambil maklum tentang cadangan daripada Yang Berhormat Tiram kerana kesesakan jalan raya bukan sahaja melibatkan jalan yang sempit tetapi juga melibatkan infra-infra di sekitarnya dan insya-Allah pihak saya, JKR Johor Bahru akan menilai cadangan Yang Berhormat. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Tenang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 16. Terima kasih.
Apakah kerajaan negeri mempunyai sebarang cadangan untuk menyediakan penempatan baharu kepada penduduk (B40) di Kampung Paya Merah Lama, Labis yang terjejas teruk setiap kali berlakunya bencana banjir?
Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan YB Tenang, apakah kerajaan negeri mempunyai sebarang cadangan untuk menyediakan penempatan baharu kepada penduduk (B40) di Kampung Paya Merah Lama, Labis yang terjejas teruk setiap kali berlakunya banjir, bencana banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pejabat Daerah Segamat akan menyelaraskan perbincangan mengenai cadangan untuk menyediakan penempatan baharu kepada penduduk (B40) di Kampung Paya Merah Lama, Labis yang terjejas teruk akibat banjir. Penyelarasan ini akan dijalankan bersama-sama wakil penduduk, Pejabat Tanah Daerah, JPS dan agensi yang terlibat. Pejabat Daerah juga akan memperhalusi cadangan tersebut sebelum dibawa kepada pertimbangan kerajaan negeri. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Gambir.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 17. Terima kasih.
Berapakah jumlah penerima manfaat Program i-Berkat dan bagaimanakah kaedah penyampaian bantuan tersebut?
Terima kasih Gambir, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Gambir adalah berkenaan jumlah penerima manfaat i-Berkat atau Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor dan bagaimanakah kaedah penyampaian bantuan tersebut?
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2022, kerajaan negeri Johor telah melaksanakan Program Bantuan Kasih Bangsa Johor di mana salah satu inisiatif di bawah BKBJ ini adalah pelaksanaan Program Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Program i-Berkat ini memfokuskan kepada bantuan sokongan kesihatan kepada golongan sasar yang memerlukan seperti bantuan kerusi roda, katil boleh laras, susu khas, lampin pakai buang, tongkat pelbagai yang berkaitan tentang hal kesihatan. Salah satu objektif pelaksanaan ini adalah menyantuni golongan berpendapatan rendah melalui bantuan barangan sokongan kesihatan dan meringankan beban golongan sasar yang berkeperluan khas terutamanya berkaitan kesihatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pelaksanaan program ini pada tahun 2022 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan telah memberi manfaat kepada lebih 1,600 orang yang terdiri daripada pesakit kronik dan terlantar, orang kurang upaya, warga emas, B40, ibu tunggal, kanak-kanak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, penyampaian bantuan ini disampaikan dengan pelbagai cara atau kaedah seperti penyampaian terus ke rumah iaitu bagi penerima atau pesakit terlantar, warga emas, orang kurang upaya. Penyampaian ke rumah ini disampaikan sama ada melalui Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan atau wakilnya melalui pegawai serta kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Pengagihan bantuan i-Berkat ini turut disampaikan sama ada dalam majlis-majlis rasmi kerajaan atau dalam program yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sendiri di peringkat negeri dan daerah. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan serta manfaat dari program ini, kerajaan negeri Johor telah meneruskan pelaksanaan ini sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa Pembentangan Bajet Negeri Johor pada 1 Disember 2022 yang lalu, di bawah Teras Ketiga Jaringan Keselamatan Sosial Strategi 2 Kebajikan Rakyat, Inisiatif 2, Pengukuhan Institusi Keluarga dan Pemerkasaaan Wanita melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2023 dianggarkan seramai 2,000 orang akan menerima manfaat secara langsung di bawah program ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih YB EXCO. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya. Apakah syarat utama dalam membuat permohonan Program i-Berkat ini dan bagaimana rakyat boleh membuat permohonan tersebut? Terima kasih.
Terima kasih Gambir. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sentiasa menyantuni dan membantu meringankan beban golongan sasar. Bantuan khusus ini merupakan bantuan barangan keperluan kesihatan bagi memastikan Bangsa Johor terus disantuni dan kekal sihat.
Program ini disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah atau golongan yang memerlukan bantuan sokongan kesihatan, OKU, warga emas, pesakit uzur kronik terlantar, merangkumi semua peringkat umur. Permohonan ini adalah secara terbuka kepada yang layak melalui borang permohonan i-Berkat 2023 yang diwar-warkan di laman sesawang Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, media sosial Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan kerajaan negeri Johor serta melalui Wakil-Wakil Rakyat, penghulu, ketua-ketua kampung, ketua masyarakat setempat dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pemohon juga boleh mengimbas QR Code atau klik pautan borang yang disediakan di poster menghantar borang permohonan.
Pemohon juga boleh memuat turun melalui laman sesawang ypkdt untuk dilengkapkan dan menghantar segala dokumen yang diminta secara fizikal ke Pejabat YPKDT berhampiran. Semua borang permohonan yang diterima akan disemak dan dibuat siasatan oleh pegawai YPK bagi tujuan kelulusan. Program ini dijalankan sepanjang tahun 2023 dan kini YPK sedang dalam proses melepasi penerima. Insya-Allah, jika tiada aral melintang Yang Berhormat Datuk Speaker, program ini dan penyampaian akan disampaikan tidak lama lagi iaitu bermula awal 2023. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Stulang. Ada? Tidak ada?
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sidang ini ditangguhkan sehingga 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Hari ini adalah hari terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa dan seterusnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada hari Isnin, 27 Mac 2023 atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, tuan-tuan, puan-puan Sidang Dewan yang saya hormati sekalian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah segala puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kehendakNya jua, maka kita berkumpul pada hari ini menghadiri sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri ini. Saya bersama seluruh Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta sidang Dewan menzahirkan sekalung tahniah serta usul terima kasih dan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan
Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tuanku Mahkota Johor bagi pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ini. Sejarah Johor gemilang bestari, kaya warisan makmur terulung, Tuanku laksana payung negeri, seluruh rakyat sejahtera bernaung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini dengan penuh hormat dan rendah hati saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan, Tunku Mahkota Johor.
Alhamdulillah, hari ini takdir Allah menetapkan kita dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta Sidang Dewan yang dihormati sekalian bagi menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat sempena persidangan kali ini. Sejambak syabas juga kepada Yang Berhormat Datuk Speaker yang telah berjaya mengendalikan sidang Dewan dengan jayanya. Semoga Yang Berhormat Datuk Speaker terus dipermudahkan dalam urusan mengendalikan Persidangan Dewan ini demi mengangkat martabat Dewan yang mulia ini.
Di kesempatan ini saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor di atas kecemerlangannya memacu ekonomi negeri Johor sehingga berjaya membantu negeri ini iaitu negeri Johor merekodkan pelaburan langsung iaitu FDI tertinggi dalam negara kita bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion. Di mana dengan kemasukan pelaburan tersebut akan menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan. Kami seluruh rakyat DUN Bukit Naning turut mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk semoga kecemerlangan ini dapat mempertingkatkan lagi kecemerlangan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana kita sedia maklum pembangunan dan pembentukan sahsiah amat penting dalam membentuk sesebuah masyarakat yang berjaya di mana ianya melibatkan proses penerapan, membina dan mencapai kemajuan insan atau masyarakat.
Dengan erti kata lain, pembinaan modal insan yang tepat dan betul dapat membantu sesebuah negara dalam melahirkan masyarakat cemerlang yang dapat memastikan kejayaan masa depan negara.
Secara umum dan amnya, konsep pembangunan modal insan dan kepentingannya berkenaan dalam pembangunan negara pada masa kini dan masa hadapan. Pembangunan insan dirujuk sebagai pembangunan sumber manusia yang perlu digilap di peringkat awal iaitu semasa di usia muda kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan tahan lebih-lebih dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi.
Ini bertepatan dengan tema belanjawan kita bagi tahun 2023 iaitu Maju Johor Makmur Bersama Rakyat dengan menggariskan 6 teras dalam urus tadbir Belanjawan 2023 iaitu Urus Tadbir Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan dan pembentukan sahsiah insan hanya akan dapat dijayakan melalui latihan dan penerapan motivasi dalam usaha melahirkan generasi muda yang berketerampilan serta mempunyai semangat jati diri dan berkeyakinan tinggi.
Bagi merealisasikan hasrat ini, kami di DUN Bukit Naning mohon diwujudkan fasiliti kemudahan latihan seperti kem bina semangat bagi kemudahan belia khasnya di DUN Bukit Naning.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pendidikan merupakan satu proses mendidik seseorang insan untuk memperolehi keilmuan sehingga dapat mengubah tingkah laku serta sikap daripada negatif kepada positif. Pendidikan juga dapat mengembangkan potensi individu ke arah positif seperti membina akhlak budi, pekerti dan peribadi yang mulia. Malahan, pendidikan membangunkan modal insan daripada aspek sosial iaitu sumbangan seseorang kepada diri, masyarakat serta negeri Johor.
Kami di DUN Bukit Naning ingin bersama menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan insan seterusnya membantu ke arah pembangunan negeri Johor. Dengan adanya fasiliti kemudahan latihan seperti kem bina semangat ini, ianya akan dapat memberi banyak faedah dan manfaat kepada golongan belia di DUN Bukit Naning. Burung pipit terbang melata, hinggap sebentar di dahan yang rapuh. Puncak jaya yang ingin dicita, segala cabaran harus ditempuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pusat pengajian tinggi mahu pun institut kemahiran perlu diwujudkan di DUN Bukit Naning. Ia bagi melahirkan graduan dalam bidang-bidang tertentu yang akan menyumbang kepada pembangunan negara. Adakah kerajaan sedia menimbangkannya demi kemajuan dan pembangunan jangka panjang di DUN Bukit Naning?
Yang Berhormat Datuk Speaker, masyarakat yang mempunyai pendidikan yang tinggi akan membantu memacu pembangunan dan meneruskan kesinambungan kejayaan sesebuah negara. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan bahawa masyarakat yang gagal menguasai ilmu serta kemahiran seiring perkembangan semasa akan memberi kesan kepada pembinaan negara dan bangsa itu sendiri.
Melihat senario semasa, kerajaan cukup menekankan pentingnya pendidikan sehingga peringkat tertinggi termasuk pembelajaran sepanjang hayat. Namun, statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan baru-baru ini 72.1% atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia iaitu SPM tidak berminat menyambung pelajaran selepas keputusan yang amat mengejutkan sekali. Ianya menimbulkan persoalan dan kebimbangan kita. Berdasarkan kajian ini juga, hanya 170,000 daripada 560,000 calon yang mengambil peperiksaan itu berminat menyambung pelajaran di dalam bidang akademik. Sudah tentu ini bukan isu remeh dan boleh dipinggirkan begitu sahaja. Jauh sekali dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan soal masa depan negara. Apabila hal sebegini terjadi pasti ramai tertanya-tanya mengapa ianya berlaku. Ketika negara mahu rakyatnya maju dan menguasai pelbagai kemahiran dan teknologi tertinggi.
Seterusnya, kita perlu memikirkan apakah sebenarnya dimahukan oleh anak-anak muda hari ini yang sepatutnya menjadi pelapis kepada pembangunan dan kepimpinan negara di masa akan datang. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini bagi menyatakan usul bahawa DUN Bukit Naning memerlukan perhatian daripada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi agar dapat kiranya menyediakan sebuah tapak untuk pembinaan sebuah institut kemahiran bagi memberi peluang kepada anak-anak muda warga DUN Bukit Naning menyambung pelajaran di dalam bidang kemahiran.
Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha ini juga bagi memastikan kecemerlangan bangsa yang bertunjangkan kepada kualiti masyarakatnya dalam pendidikan. Di mana majoriti negara maju di dunia ini mempunyai penduduk yang memiliki kelulusan ijazah pertama dan seterusnya.
Justeru itu, kita harus beri perhatian serius agar mereka ada kualiti dan kelayakan untuk kesinambungan kejayaan pada masa akan datang.
Di samping itu, usaha ini bagi memastikan pelajar yang berminat dalam bidang kemahiran supaya tidak ketinggalan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut kerana kemahiran yang tidak diiringi kelulusan dari pusat pengajian tinggi akan menghadkan potensi tawaran pekerjaan yang lebih baik. Hendak belayar ke Telok Betung, sambil mencuba labuhkan pukat. Buat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai menyahut seruan kerajaan terhadap memperkasakan sekuriti makanan negara adakah kerajaan mengaktifkan agensi-agensi berkaitan dalam membangunkan tanah-tanah terbiar, contohnya dengan menganjurkan kerjasama pintar antara syarikat swasta dengan pemilik tanah bagi penanaman berasaskan makanan khususnya di DUN Bukit Naning.
Yang Berhormat, tinggal 2 minit.
Sebagai.. Minta maaf, Yang Berhormat Datuk Speaker. Sikit lagi.
Sebagai contoh, program jualan terus dari ladang iaitu JTDL dianjurkan oleh FAMA sebagai inisiatif menyediakan outlet pemasaran kepada usahawan yang juga peserta ladang kontrak mempromosikan produk hasil pertanian dan industri asas tani kepada pengguna pada harga yang berpatutan. JTDL mampu menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna iaitu lebih 5 hingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran dan harga yang munasabah kepada pengeluar iaitu sekitar 50% daripada harga pengguna.
Program sebegini menggalakkan peserta ladang kontrak membuat jualan terus hasil pertanian masing-masing kepada pengguna tanpa membabitkan orang tengah. Dengan ini mereka mampu mendapat pulangan yang lebih tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan usahawan asas tani di bidang agro makanan dan usahawan memproses makanan yang menekankan kepada peningkatan pengeluaran produk yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran global telah dipelopori oleh beberapa kementeriaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sehubungan itu, aspek promosi, pemasaran serta penggunaan teknologi tinggi diberi tumpuan ke arah mencapai objektif ini. Usaha ini bagi memperkasakan sekuriti makanan negara di samping mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import sebaliknya merancakkan kembali industri makanan dalam negara untuk mengatasi kenaikan harga yang melampau kini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kalam saya sudahi ucapan saya ini dengan wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Bukit Naning mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Naning. Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan ini mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 18 orang daripada kawasan DUN Pasir Raja. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Skudai.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor, salam Malaysia Madani.
Saya memulakan perbahasan pada hari ini sebagai Ahli Dewan yang mulia, dengan menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tatkala berlangsungnya Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada minggu lalu. Alhamdulillah, sesungguhnya setiap butir titah Duli Yang Maha Mulia menjadi panduan dan pedoman untuk kita semua berbahas dengan harmoni demi kepentingan negeri dan juga Bangsa Johor. Patik dan juga rakyat Johor juga sentiasa bersyukur di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor serta seluruh kerabat Diraja Johor terhadap banjir besar yang dialami oleh Bangsa Johor baru-baru ini. Banyak sumbangan segera yang dikurniakan bagi mengurangkan bebanan mangsa-mangsa banjir.
Saya juga ingin ambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak EXCO Yang Berhormat sekalian, agensi serta kakitangan kerajaan yang turut bersama-sama bagi menghulurkan tangan dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir tanpa mengira kawasan. Dan, saya juga mengambil dan menyambut baik cadangan Menteri Besar Johor yang mana bagi mewujudkan satu Jawatankuasa Perubahan Iklim dan juga Pengurusan Bencana yang turut melibatkan pihak pengimbang. Ini sebenarnya membuktikan bahawa Menteri Besar adalah seorang yang walk the talk, dengan izin dan benar-benar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, berbanding dengan kepentingan politik semata. Saya percaya jika kerjasama sebegini berterusan dalam menjaga kepentingan rakyat, insya-Allah, lebih banyak isu-isu yang dapat kita bersama-sama perjuangkan untuk kepentingan Bangsa Johor.
Ahli Yang Berhormat sekalian, 12 Mac lalu maka genaplah setahun kita semua diangkat menjadi pembawa suara rakyat di dalam Dewan yang mulia ini. Kita semua rela menggalas amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat pada hari ini. Maka, di sinilah pada hari ini kita berdiri dan kita duduk untuk membawa suara mereka dan semoga dalam tahun ini dan tahun-tahun seterusnya sehingga habis penggal insya-Allah, kita semua akan terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Malahan lebih baik sepanjang perkhidmatan kita sebagai pembawa suara rakyat.
Ahli Dewan sekalian, saya dengan penuh rendah diri pada hari ini mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Dewan yang mulia dengan mencerakinkan suara rakyat di Skudai kepada 2 titik tumpu iaitu rejuvenasi Skudai dan juga penguatkuasaan teras kesejahteraan pada masa hadapan. Ahli Yang Berhormat sekalian, rejuvenasi Skudai, saya mendukung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan menggalas amanah sebagai Ahli Dewan yang mulia ini dengan baik. Sehubungan dengan itu, saya mewakili suara rakyat Skudai ingin mengambil perhatian kerajaan negeri dan juga agensi terlibat di sini. Kalau kita lihat Skudai merupakan salah satu kawasan yang mana mempunyai populasi yang terbanyak di kawasan Johor, lebih kurang 160,000 orang. Kawasan perumahan seperti Taman Ungku Tun Aminah, Bandar Selesa Jaya, Taman Sri Skudai dan juga Taman Skudai Baru antara kawasan perumahan lama di Skudai. Pejabat saya juga sering menerima pelbagai aduan berkenaan dengan masalah komuniti di kawasan-kawasan tersebut.
Jadi untuk pengetahuan semua, Taman Ungku Tun Aminah merupakan kawasan perumahan moden yang terawal dibangunkan di kawasan Skudai iaitu pada tahun 80an. Taman ini dilengkapi dengan kawasan perniagaan, perumahan, pusat membeli belah, pelbagai kemudahan awam dan juga kawasan flat-flat kos rendah. Akan tetapi setelah 40 tahun berlalu, banyak taman baharu di sekeliling telah wujud dan membawa pertumbuhan kepada penduduk keseluruhan di kawasan Skudai untuk membangunkan ekonomi di sini. Di sebalik pembangunan baharu, Taman Ungku Tun Aminah sedang menjadi lebih usang dan uzur. Keusangan itu menjadi lebih jelas apabila di kelilingi dengan taman-taman yang lebih moden dan juga teratur. Antara masalah yang selalu timbul adalah dinding longkang runtuh, lampu jalan tidak berfungsi, penyambungan haram di kawasan perniagaan, malahan perumahan yang mana mengundang masalah. Masalah longkang lama yang tidak mampu
menampung taburan hujan pada masa kini juga menjadi satu masalah yang harus difikirkan kerana banyak kes-kes ataupun masalah banjir yang berpunca daripada longkang yang sempit. Masalah longkang tersumbat juga sering berlaku apabila penduduk membuat penyambungan haram. Apabila masalah-masalah sedemikian wujud, mereka pula akan menyatakan bahawa tidak ada pihak yang menegur mereka, kerana mereka bebas berbuat demikian lebih daripada 30 tahun. Dan mereka tidak memahami kesalahan mereka. Sikap peniaga yang degil dan penguatkuasaan yang lemah juga menyebabkan masalah kebersihan kawasan perniagaan berlarutan sekian lama.
Namun kita juga perlu faham bahawa di kawasan yang tua seperti ini, penduduk di sini terdiri daripada golongan yang berpendidikan rendah, B40 ataupun warga emas. Ia mempunyai sedikit kekangan untuk komunikasi dan juga memahamkan mereka berkenaan undang-undang PBT yang sedia ada. Keadaan kawasan flat di Taman Ungku Tun Aminah juga dibina pada tahun 80an, makin teruk dan sangat merisaukan. Banyak fasiliti flat semakin usang dan semakin tidak selesa untuk diduduki oleh penduduk. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Badan Pengurusan Flat ataupun JMB lemah dalam menunaikan tanggungjawab dan juga penduduk enggan membayar bayaran pengurusan. Oleh yang demikian, JMB ataupun Badan Pengurusan tidak mempunyai dana yang secukupnya untuk menaik taraf fasiliti flat. Namun kita juga tak boleh menyalahkan ataupun meletakkan kesalahan hanya kepada Badan Pengurusan, kerana mereka juga menghadapi kekangan. Yang mana terdapat Badan Pengurusan di sini terdiri daripada beberapa penduduk yang berusia dan mereka tidak memahami langsung undang-undang. Apabila mereka ini membuat sesuatu dengan tujuan membangunkan kawasan seperti di flat Tun Aminah, tidak ada orang yang membimbing mereka. Pelbagai masalah seperti apa yang saya sebutkan di atas adalah sebab-sebab mengapa kita perlu merancang, pelan rejuvenasi untuk membangunkan semula kawasan-kawasan lama seperti Taman Ungku Tun Aminah. Ini supaya dapat mewujudkan satu nafas baru terutamanya di kawasan terpinggir, terbiar usang dan tidak ekonomik.
Proses pembaharuan semula bandar ataupun urban renewal boleh dilakukan supaya nilai, imej dan reka bentuk bandar boleh ditingkatkan. Pelan tersebut perlu untuk memastikan kelestarian bagi kawasan-kawasan yang uzur ini supaya kualiti kehidupan penduduk sedia ada dapat dijamin dalam jangka masa yang panjang. Tindakan yang patut dirangkumkan adalah penguatkuasaan undang-undang PBT, menaik taraf fasiliti awam, mengubah perancangan tempatan, seliaan dan bimbingan kepada Badan Pengurusan Flat Kos Rendah dan sebagainya.
Selain itu, konsep bandar pintar iaitu Smart City dan bandar rendah karbon juga merupakan usul yang penting agar dapat memastikan hala tuju yang selaras dengan agenda nasional dan global yang menitikberatkan pembangunan mampan. Kerjasama antara PBT dan syarikat persendirian amat diperlukan dalam membangunkan semula bangunan terbengkalai, perancangan penggunaan tanah kosong dan juga mewujudkan kawasan ekonomi yang lebih teratur dan mampu memanfaatkan penduduk setempat. Sebagai contohnya, pihak PBT boleh membantu syarikat persendirian dalam proses untuk membangunkan medan selera di sebuah tanah lapang. Ia dapat menempatkan peniaga-peniaga yang kini mencari rezeki di jalanan. Mengurangkan masalah restoran yang menghalang kaki lima dan sekali gus menyelesaikan masalah kebersihan sekian lama. Pejabat saya dan juga pejabat Ahli Parlimen Iskandar Puteri menyambut baik jika Pihak Berkuasa Tempatan ingin berbuat demikian.
Kedua, penguatkuasaan teras kesejahteraan masa hadapan. Sebelum saya menghuraikan isu ini lebih lanjut, sukalah untuk saya menterjemahkan maksud penguatkuasaan. Untuk pemahaman kita bersama, penguatkuasaan bererti satu tindakan untuk memastikan orang ramai mematuhi undang-undang atau peraturan tertentu untuk kesejahteraan awam. Dalam PBT apa tujuan penguatkuasaan? Untuk memastikan masyarakat mematuhi undang-
undang, memastikan premis-premis mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan agar tidak menimbulkan masalah kepada awam, memastikan persekitaran bandar raya ataupun kawasan teratur serta memberi keselesaan awam. Kalau nak diterjemahkan panjang sangat. Jadi sebenarnya peranan proaktif agensi-agensi penguatkuasaan dalam mendaulatkan undang-undang membabitkan kesejahteraan rakyat sebenarnya sangat penting. Dan pihak kerajaan tempatan kita pada hari ini mempunyai banyak sangat undang-undang yang mana bertujuan mewujudkan kesejahteraan, mengawal rakyat demi kebaikan awam. Akan tetapi kalau kita lihat kekurangan penguatkuasaan. Tindakan mewujudkan undang-undang tanpa penguatkuasaan akhirnya akan memakan diri Pihak Berkuasa Tempatan yang mana kesannya mungkin akan dituai 5 hingga 15 akan datang. Ini boleh kita lihat dalam situasi ataupun apa yang berlaku di kawasan Skudai pada hari ini yang mana penyambungan haram yang telah berlaku lebih daripada 10 tahun. Penyambungan haram yang berleluasa seolah tiada siapa yang nampak. Pelanggaran undang-undang pembangunan, kegunaan tanah dan perkara lain-lain ini.
Saya ambil contoh tuan-tuan dan puan-puan sekalian, penyambungan haram yang mana kebanyakannya melibatkan pembinaan, binaan di atas longkang dan akhirnya menimbulkan masalah seperti tersumbat, yang mana menyusahkan kerja pembersihan. Penyambungan yang menutup laluan belakang rumah ataupun sehingga mengambil hak tanah pihak lain yang menimbulkan isu yang sangat sukar diselesaikan setelah bertahun lama dibiarkan. Dalam isu sebegini, kebanyakan pemilik premis kediaman mahu pun perniagaan akhirnya akan mempersoalkan integriti pihak berkuasa seperti mengapa setelah berbelas tahun baru tindakan diambil? Kenapa di sana boleh lakukan penyambungan tetapi di sini tidak boleh? Ada pulak pihak awam melihat dan mempertikaikan selama ini adakah pihak berkuasa tidak melihat segala kesalahan yang dilakukan secara terang-terangan? Perkara sebegini akhirnya hanya akan mengelirukan orang awam dan menjadi bebanan kepada PBT pada hujungnya.
Peranan proaktif yang dimainkan bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, sebaliknya perlu dimulai dengan pendidikan, kesedaran dalam masyarakat terlebih dahulu. Ini bagi memahamkan masyarakat apa keperluan sesuatu undang itu diterapkan dan ditetapkan. Penguatkuasaan undang-undang tanpa pendidikan kesedaran hanya satu perkara yang sia-sia dan memberi kesan kepada masyarakat serta menjejaskan reputasi penguatkuasaan itu sendiri. Sistem penguatkuasaan kita kini penuh dengan undang-undang yang dapat menjadikan rakyat teratur tetapi sejauh mana undang-undang ini dikuatkuasakan, harus dikaji. Jangan menunggu sesuatu masalah itu telah merebak menjadi barah, masa itu baru undang-undang yang ada, ingin dipakai dengan betul. Waktu itu sukar untuk kita merawat akar permasalahan tersebut.
Pada hari ini saya nak ambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar Iskandar Puteri, Dato’ Hafiz yang mana baru-baru ini beliau berusaha mengadakan dialog bagi menjelaskan kepada pihak premis perniagaan di kawasan-kawasan Skudai yang mana ada di antara mereka melanggar syarat berkenaan mengapa tindakan penguatkuasaan itu diambil terhadap premis yang melanggar peraturan. Tindakan yang diambil oleh MBIP yang mana menjelaskan, memberikan penjelasan kepada peniaga, kepada penduduk melalui dialog adalah sangat baik, berbanding mengambil tindakan tanpa diperjelaskan kesalahan dan kemudaratan daripada kesalahan yang dilakukan. Saya juga ingin ambil kesempatan di sini kepada Yang Berhormat sekalian. Sebagai pemimpin kita harus berani dan bertegas untuk memastikan rakyat kita mematuhi undang-undang. Jangan pula hanya kerana undi, kita menyebelahi mereka dan memejamkan mata terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Jangan pula bila kita pergi keluar negara, kita memuji-muji sikap rakyat luar negara dalam mematuhi undang-undang, dalam menjaga kesejahteraan kawasan akan tetapi apabila di negara sendiri kitalah menjadi penyumbang, penyebab rakyat kita berani melanggar undang-undang dan berbuat sesuka hati.
Yang Berhormat tinggal 2 minit.
Baik Tuan. Dan sebagai seorang yang biasa dalam NGO, yang mana juga bekas Ahli Majlis dan kini seorang ADUN, saya suka sangat dengan kenyataan yang dilontarkan oleh Dato’ Jasni selaku EXCO semalam, yang mana kenyataannya penuh nilai kemanusiaan terhadap penjaja, yang mana membantu mendapatkan solusi bukan menghukum tanpa menilai kedudukan mereka.
Dan kesimpulannya akhir kata, saya menggulung perbahasan pada hari ini dengan sekali lagi Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan berharap agar kita semua sentiasa dapat berkerjasama erat dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi Bangsa Johor. Salam Ramadan dan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat semua. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Skudai. Dijemput Yang Berhormat Penawar.
Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian mewakili suara DUN Penawar dalam sesi perbahasan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam Sidang Dewan yang mulia ini. Patik menjunjung kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku merasmikan Dewan yang mulia ini.
Seperti Ahli-Ahli Dewan yang lain, saya juga mengambil peluang untuk membawa isu banjir yang melanda negeri kita. Khususnya di kawasan saya iaitu DUN Penawar. Cuma bezanya, banjir di Penawar berlaku lebih awal, iaitu pada Januari yang lalu. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas perkenan mencemar Duli berangkat ke DUN Penawar untuk menemui mangsa-mangsa banjir di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 1, pada 26 Januari 2023 yang lalu. Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada mangsa-mangsa di PPS tersebut. Patik mewakili rakyat DUN Penawar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku, sesungguhnya kehadiran Tuanku memberikan penawar dan kegembiraan kepada masyarakat yang sedang berduka ditimpa musibah banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir yang melanda Penawar pada tahun ini boleh dikatakan antara yang terburuk dalam sejarah. Sebanyak 3 pusat pemindahan banjir di buka dan pelbagai kerugian terpaksa di hadapi penduduk. Saya dan juga beberapa agensi seperti Majlis Perbandaran Pengerang dan juga Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kota Tinggi telah pun mengadakan pelbagai lawatan ke kawasan hot spot banjir dan pelbagai langkah jangka masa pendek telah di ambil. Namun begitu, tiada siapa yang boleh menghalang kekuasaan Allah SWT.
Saya juga ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat membantu mangsa banjir dan juga kerja-kerja pasca banjir terutamanya Pejabat Daerah, JPS Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, ATM, APM, Southern Volunteers, kelab-kelab belia, badan-badan bukan kerajaan dan ramai lagi.
Untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, di kawasan Penawar terdapat 3 kawasan utama yang teruk di landa banjir iaitu Taman Desaru Utama, Kampung Baru Sungai Mas dan juga
Taman Sri Penawar iaitu di Jalan Ladang Siang. Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah telah menggariskan beberapa pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang. Antaranya ialah naik taraf sistem perparitan di Jalan Balau, baik pulih dan selenggara Sungai Cemaran dan baik pulih setiap longkang dan pembentung sedia ada. Saya berharap kerajaan negeri memastikan bahawa kesemua perancangan dan cadangan penyelesaian ini dapat dilaksanakan mengikut jadual supaya kejadian sama tidak berulang lagi. Paling tidak pun kita dapat mengurangkan risiko dan juga kesan banjir tersebut.
Saya juga memohon kerajaan negeri untuk mengkaji dan mencari langkah penyelesaian segera dan terbaik untuk mengatasi banjir di kawasan Taman Penawar Harmoni. Saya dapati bahawa culvert berhampiran loji air IWK perlu di naik taraf dan perlu membina saliran baru untuk menampung air bukit atau tanah UTM. Dalam hal ini, saya berharap kerajaan negeri dapat mengkaji dan mengenal pasti punca utama berlakunya banjir terutamanya di kawasan hot spot di kawasan DUN Penawar. Jika tidak, situasi sama perlu dihadapi penduduk pada setiap tahun. Saya tidak mahu langkah-langkah jangka masa pendek sahaja yang dilakukan kerana lama kelamaan kejadian sama pasti berulang. Justeru, saya memohon kepada kerajaan negeri melalui agensi berkaitan untuk menyenaraikan semua langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah banjir di DUN Penawar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin beralih kepada isu yang amat penting untuk generasi yang akan datang. Berdasarkan statistik dari JKM, sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak di kendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga November 2022. Ia meliputi kes-kes yang terlibat seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian. Hal ini sangat membimbangkan kanak-kanak akan menjadi trauma dan berisiko tinggi untuk menghadap masalah mental. Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan aman, dan dibesarkan dengan cara yang baik. Bukan setakat ibu bapa kita semua perlu sama-sama berganding bahu memperjuangkan nasib-nasib kanak-kanak yang menjadi mangsa dan dalam masa yang sama merangka pelan tindakan untuk mencegah masalah ini menjadi lebih barah dalam negara kita khususnya dalam negeri Johor. Saya tidak mahu kes-kes yang meruntun jiwa dan merobek hati kita berulang lagi.
Rakyat Malaysia tidak pernah lupa apa yang telah terjadi kepada allahyarhamah adik Nurin Jazlin Jazimin dan adik Nurul Huda Abdul Ghani dan allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah yakni Dirang pada 2012. Baru-baru ini sekali lagi kita digempar lagi dengan berita menyahat hati apabila kanak-kanak berusia empat tahun mati akibat di dera. Saya menjunjung kasih titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang bertitah supaya kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menubuhkan jawatan khas bagi menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan dan buli di sekolah. Baginda juga bertitah akta kanak-kanak perlu diperkukuhkan dengan memperuntukan perundangan supaya tindakan yang lebih proaktif dan agresif boleh diambil. Titah tersebut ada faktanya dan turut disokong oleh Pesuruhjaya, Surahanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia yakni SUHAKAM, Prof. Dato' Noor Aziah Mohd Awal yang menyatakan bahawa sebuah jabatan atau institusi khas kanak-kanak perlu ditubuhkan kerana institusi sedia ada ketika ini menumpukan kepada pelbagai peringkat umur dan tidak khusus.
Alhamdulillah, pada pengumuman belanjawan kerajaan perseketuan baru-baru ini, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak. Segala hal ehwal berkaitan kanak-kanak perlu diperkasa dan perlu wujudnya satu badan khas untuk mengelola hal ini. Kita sudah tidak boleh mengharapkan JKM semata-mata kerana di bawah JKM sudah terlalu banyak portfolio dan tugas-tugas lain terutamanya dalam memastikan aspek kebajikan rakyat. Jadi, kita semua sebagai masyarakat yang
bertanggungjawab perlu sama-sama memainkan peranan untuk mengatasi isu ini. Kita sebagai masyarakat perlu sama-sama menjadi duta kepada pihak berkuasa dan juga JKM untuk sama-sama membantu menyebar luaskan segala kempen kesedaran yang dianjurkan oleh kerajaan termasuklah melaporkan kepada pihak berkenaan sekiranya mengetahui wujudnya kejadian penderaan.
Dalam hal ini, saya juga ingin bertanya kepada kerajaan apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan kewujudan dan kepentingan masyarakat, kepentingan saluran aduan kes penderaan kanak-kanak iaitu talian kasih 15999, memandangkan masih ramai tidak tahu akan saluran ini untuk membuat aduan.
Selain itu, apakah usaha kerajaan untuk menggalakan lebih banyak penglibatan secara langsung oleh badan bukan kerajaan yakni NGO supaya mereka sama-sama memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu penderaan kanak-kanak? Saya juga memohon kerajaan menyatakan statistik terkini kes penderaan kanak-kanak mengikut kategori sepanjang tahun 2020 ini di negeri Johor dan apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mangsa ini sendiri supaya berani untuk membuat aduan dan laporan sekiranya mereka di dera? Saya juga ingin mencadangkan lebih banyak NGO dilibatkan untuk meningkatkan sokongan sosial kepada mangsa-mangsa seperti aspek kaunseling, khidmat masyarakat dan juga bantuan wang ringgit kepada pusat-pusat perlindungan kanak-kanak di negeri ini.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Serom yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor yang telah memulakan sesi lawatan ke Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Dan Wanita di seluruh Johor bersama-sama ADUN-ADUN wanita, bagi menggambarkan gambaran, memberi gambaran jelas untuk memahami keperluan perlindungan, keselamatan diperlukan golongan berkenaan dan aspek perlu diperbaiki.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain kanak-kanak wanita juga perlu diberikan perhatian. Saya hendak berkongsi beberapa statistik berkenaan wanita di Dewan yang mulia ini. Di anggarkan 15.6 juta penduduk Malaysia adalah perempuan daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk pada tahun 2021. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh yakni KPTB, wanita masih rendah iaitu 55.5% pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan negara Asian Tenggara lain seperti Loas 74.8% dan Kemboja 74.0%. Peratus sebagai profesional dan pekerja teknikal lebih rendah berbanding lelaki yakni wanita 40.6%, lelaki 59.4%.
Yang Berhormat, tinggal 2 minit.
Bagi setiap RM100.00 gaji dan upah diterima lelaki, wanita menerima RM96.21.
Yang Berhormat Datuk Speaker, data-data ini menunjukkan bahawa bilangan atau penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kita masih berkurangan. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih rendah berbanding negara lain di negara Asia Tenggara iaitu 55.5% pada tahun 2021. Melihat kepada perbandingan Malaysia berada di tangga ke-8 daripada 10 negara Asian bagi individu berusia 15-64 tahun dari segi penyertaan buruh wanita. Antara punca-punca yang dikenal pasti mengapa kurangnya pengilibatan wanita dalam sektor pekerajaan ialah ramai wanita terpaksa berhenti kerja kerana terpaksa memenuhi tanggungjawab menjaga anak. Hal yang demikian, adalah kerana kewujudan taksa-taska di tempat kerja adalah masih rendah dan kebanyakan ibu-ibu yang khuatir untuk mencari pengasuh yang benar-benar boleh dipercayai.
Saya mohon kerajaan negeri menyatakan kadar penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan pada tahun 2022 dan sejauh manakah usaha-usaha kerajaan untuk menyediakan
pesekitaran kerja yang kondusif seperti menyediakan bilik menyusu dan penjagaan kanak-kanak? Menawarkan waktu kerja anjal, perkongsian kerja dan pilihan bekerja dari rumah dalam meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam sektor kerajaan di negeri Johor.
Yang Berhormat, masa tamat.
Minta sikit lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya gulung. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya hendak menyentuh sikit mengenai isu kawasan seperti kita sedia maklum DUN Penawar merupakan salah satu destinasi pelancongan terkemuka di negeri Johor lebih-lebih lagi setelah kewujudan Desaru Coast. Setiap hujung minggu juga kawasan saya akan jammed penuh dengan kenderaan pelancong-pelancong dari, baik dari dalam mahupun luar negeri. Keadaan ini akan mendatangkan pelbagai manfaat kepada ekonomi Johor dan imej negeri Johor dan juga peluang perniagaan pada penduduk setempat. Saya berharap dengan pembangunan pesat di Bandar Penawar, limpahan ekonomi tersebut turut dapat dirasai dan dinikmati oleh penduduk-penduduk tempatan.
Saya juga mohon segala fasiliti terutama jalan raya dan liputan Internet ditambah baik untuk memberi keselesaan kepada pelancong dan penduduk setempat. Saya berharap dengan pembangunan pesat di Bandar Penawar, limpahan ekonomi tersebut turut dapat dirasai dan dinikmati oleh penduduk-penduduk tempatan. Saya juga mohon segala fasiliti terutama jalan raya dan liputan Internet ditambah baik untuk memberi keselesaan kepada pelancong dan penduduk setempat.
Yang Berhormat..
Sekian sahaja daripada saya. Saya mohon menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Dijemput Yang Berhormat Senai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selamat pagi dan salam Maju Johor, salam Malaysia Madani diucapkan kepada semua. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berbahas di Dewan yang mulia ini.
Patik Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Senai ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas permohonan melaksanakan projek naik taraf Lebuh Raya Utara – Selatan dari Yong Peng Utara ke Senai Utara daripada 4 kepada 6 lorong yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM525 juta dalam Bajet 2023.
Projek naik taraf ini dijangka dapat menyuraikan lalu lintas bukan sahaja di sekitar Senai, Kulai, Simpang Renggam, Yong Peng tetapi juga dapat memendekkan masa perjalanan Lebuh Raya Utara – Selatan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur ataupun bandar-bandar yang lain. Walau bagaimanapun, Senai berharap projek jalan pintasan Senai ke Kulai ataupun Senai – Kulai Bypass yang telah dirancang oleh Jabatan Kerja Raya sejak Rancangan Malaysia Ke-9 RMK-9 tetapi asyik tertangguh ke RMK-12 juga dapat diluluskan secepat mungkin atas sebab-sebab berikut:-
Pertama, pelaksanaan projek ini dijangka dapat merancakkan lagi aktiviti pelaburan di Iskandar Malaysia untuk Flagship E iaitu Senai Tol Skudai dan Flagship F, Sedenak yang sekali gus turut membawa lonjakan kepada ekonomi negeri Johor.
Kedua, daerah Kulai telah menarik pelaburan yang besar seperti Bridge Data Centre di Pusat Teknologi Sedenak, Iskandar Data Exchange juga di Sedenak, Johor Bahru Gateway DHL Express di Senai dan juga Wiwynn Corporation di Senai Airport City. Kelengkapan infrastruktur akan memberikan keyakinan kepada pelabur-pelabur tersebut untuk terus komited dalam melaksanakan projek-projek yang dirancangkan.
Ketiga, daerah Kulai melalui proses transformasi pembangunan yang begitu pesat sejak 16 tahun yang lalu dan populasi sudah mencapai 300,000 orang. Warga Kulai memerlukan jalan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di FT001, Jalan Persekutuan.
Keempat, projek ini dapat meringankan beban pengguna jalan raya tanpa membayar tol melalui lebuh raya Utara ke Selatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjunjung kasih dan bersetuju dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa jalan yang berlubang-lubang perlu diberi perhatian kerana ianya membahaya pengguna jalan raya.
Setiap tahun kerajaan telah mengeluarkan peruntukan besar untuk menyelenggara kemudahan jalan dan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan oleh konsesi syarikat berkaitan. Senai diumumkan, dimaklumkan kontrak konsesi untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri telah tamat pada Oktober tahun 2022 tetapi kontrak hanya diperbaharui pada Januari tahun ini. Kelewatan pembaharuan kontrak ini telah menyebabkan jalan-jalan negeri seperti Jalan Seelong, J105 dan Jalan Susur Getting, Gunung Pulai J165 dan lain-lain jalan negeri menghadapi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tidak dapat dilaksanakan sepanjang 3 bulan.
Sepatutnya kontrak konsesi baru perlu diperbaharui lebih awal kerana kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini telah dijadualkan tidak boleh terputus. Ini telah memberi impak besar dan mengundang risiko kepada para pengguna jalan raya. Oleh demikian, Senai berharap kerajaan negeri memberi penjelasan tentang sebab pelantikan baru tidak dibuat sebelum kontrak tamat dan apakah langkah yang boleh diambil supaya masalah ini tidak berulang lagi?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai ataupun Hospital Kulai terletak di kawasan DUN Senai. Dan juga satu-satunya hospital kerajaan di daerah Kulai. Pada 21 Disember tahun lepas, Senai dan YB Bukit Batu telah melawat ke Hospital Kulai dan mendengar taklimat tentang status pembangunan hospital terkini.
Kami dimaklumkan Hospital Kulai menghadapi keperluan kritikal bagi tujuan pengisian kekosongan sebanyak 28 orang bagi pelbagai perjawatan serta perjawatan baharu sebanyak 75 orang bagi memenuhi keperluan keseluruhan perkhidmatan. Hospital Kulai bukan sahaja menghadapi kekurangan kakitangan tetapi juga turut menghadapi kekurangan aset termasuk memerlukan 2 buah ambulans baharu secara mendesak. Selain itu, perkhidmatan bedah siasat di Hospital Kulai terpaksa dihentikan sementara berikutan berlaku kerosakan alat alter scissor sejak November tahun lepas. Ini menyebabkan perkhidmatan tersebut tidak dapat dilaksanakan seperti biasa dan kesemua kes terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru selain menimbulkan kesulitan kepada ahli keluarga yang terlibat dengan kes kematian serta anggota-anggota bertugas yang berkaitan.
Memandangkan permohonan penggantian alat baru perlu menunggu lama, Senai telah mengambil inisiatif untuk memohon sumbangan daripada budiman-budiman dan akhirnya sebanyak RM37,500.00 telah disumbangkan untuk membeli peralatan alter scissor yang diperlukan. Senai amat bersyukur perkhidmatan bedah siasat di Hospital Kulai telah
beroperasi semula pada 19 Februari yang lepas dengan usaha semua pihak. Senai ingin mengambil contoh ini bertujuan menarik perhatian kerajaan tidak kira negeri ataupun persekutuan supaya bersama-sama memberikan bantuan dan menyelesaikan permintaan yang mendesak Hospital Kulai agar keperluan perubatan warga Senai dan Kulai dapat terbela.
Yang Berhormat sekalian, banjir di Johor kali ini melibatkan semua 10 daerah dan merekodkan 74,453 orang mangsa dan dijangka akan membawa impak yang besar khasnya bagi mereka yang mengalami kerosakan dan kerugian harta benda. Senai menzahirkan rasa simpati, sedih kepada mangsa-mangsa yang terkesan dalam banjir. Senai juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir Johor dan meluluskan projek tebatan banjir di daerah Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat untuk dilaksanakan dengan segera.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri juga mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi usaha pemulihan meliputi program dan projek pasca banjir khususnya di Johor. Selain bantuan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan, Senai juga berharap kerajaan negeri Johor juga boleh mengumumkan pakej bantuan mangsa banjir untuk meringankan beban golongan mangsa banjir yang terjejas seperti mengurangkan cukai harta, mengurangkan bayaran lesen perniagaan, mengecualikan bayaran lesen penjaja bergerak dan lain-lain bantuan.
Senai ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas-petugas, anggota-anggota sukarelawan, ketua-ketua kampung dan tidak terlupa Yang Berhormat yang duduk di dalam Dewan ini. Dalam bencana banjir ini, kita telah menunjukkan semangat, tabah dan bersatu-padu dan cukup membanggakan sebagai Bangsa Johor. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua.
Senai mengalu-alukan cadangan Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor berkaitan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir yang akan dianggotai ADUN merentasi parti politik. Ini adalah satu pengiktirafan kepada ADUN-ADUN Pengimbang yang memang boleh memberi kerjasama dan cadangan konstruktif terhadap isu berkenaan kepentingan rakyat dan pada masa yang sama turut memainkan peranan semak dan imbang dalam Dewan Negeri.
Senai berharap bahawa, bukan sahaja nama Pembangkang ditukar kepada Pengimbang tetapi dari isinya juga akan berubah diikuti dengan lebih banyak ruang kerjasama yang juga akan diberikan di bawah semangat perpaduan dan juga inisiatif-inisiatif yang akan diambil oleh barisan kerajaan pada masa yang terdekat. Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai Menjunjung Kasih Titah Tuanku dan memohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Senai. Sekarang dijemput Yang Berhormat Kahang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Perpaduan, salam Maju Johor. Saya merafak sembah Menjunjung Setinggi-tinggi Kasih di atas Perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku hadir dan seterusnya bertitah dan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam sesi perbahasan pada kali ini, rata-ratanya ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat menceritakan tentang pengalaman mereka mengharungi banjir di kawasan masing-masing.
Dalam konteks itu, saya juga ingin menyebut tentang apa yang berlaku di kawasan Kahang, di DUN Kahang. Sebenarnya di kawasan DUN Kahang ini, banjir ini merupakan sesuatu yang berlaku setiap tahun. Pada tahun ini ianya berlaku 2 kali. Dan setiap kali apabila berlakunya banjir jalan ke Kahang itu terputus hubungan. Di Kahang, saya ada 9 perkampungan Orang Asli, tetapi setiap kali banjir sekurang-kurangnya 6 perkampungan Orang Asli akan terputus hubungan dan cara untuk menghubungi mereka dan menghantar bantuan dan bekalan menerusi motorbot dan helikopter. Inilah sesuatu yang berlaku setiap tahun.
Dan juga pada masa yang sama, kalau Yang Berhormat Speaker rata-rata di beberapa perkampungan di DUN Kahang ini, kalau kita masuk ke rumah mereka, kita akan nampak ada rak yang dibina di atas. Rak, ataupun shell kata orang. Inilah sebenarnya untuk apabila berlakunya banjir mereka akan mengambil barang-barang yang penting, letak di rak tersebut dan keluar rumah ke PPS kerana ini akan menyebabkan paras air yang begitu tinggi sekali ya di kampung-kampung tersebut.
Jadi saya terdengar Yang Berhormat Parit Sulong menyatakan bahawa beliau memerlukan empangan di kawasan tersebut di mana ia akan mengurangkan risiko banjir, tetapi di kawasan saya ada empangan. Empangan Kahang, yang dibina beberapa tahun yang lepas. Tetapi selepas empangan itu dibina, penduduk kampung menyatakan bahawa selepas adanya empangan, paras air semakin meningkat, limpahan air lagi deras, dan juga mengikut cerita orang kampung ini berlaku ialah kerana apabila paras air di empangan itu semakin naik, empangan akan dibuka. Bila empangan dibuka, makna airnya akan memasuki ke kawasan perkampungan. Ia akan melimpah ke Sungai Kahang, ia akan melimpah masuk ke semua kawasan-kawasan perkampungan Orang Asli dan juga perkampungan-perkampungan tradisional yang ada di situ. Saya bukan seorang yang mempunyai kepakaran dalam konteks teknikal seperti ini tetapi dari segi logiknya, dari segi logiknya, apa yang saya bawa dalam sidang Dewan ini adalah sesuatu yang sebenarnya diharapkan oleh masyarakat di peringkat akar umbi bahawa kerajaan negeri harus membuat sesuatu. Mencari satu mekanisma untuk mengurangkan risiko banjir kerana di kawasan saya ianya berlaku setiap tahun. Seolah-olah tidak ada kehidupan yang lain selain daripada mengharungi bencana ini saban tahun.
Saya juga pernah berjumpa dengan beberapa agensi di peringkat daerah Kluang. Berjumpa dengan mereka, tanya dengan mereka apakah cara kita boleh mengurangkan risiko banjir ini. Banjir ini bencana alam, kuasa Tuhan. Hujan kita tidak boleh berhenti, tetapi risiko air cepat naik, risiko berlakunya banjir mungkin dapat dikurangkan. Apakah caranya?
Pada hari ini kerajaan negeri kita memang hebat. Dalam konteks memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, A1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua agensi yang terlibat. Tetapi itu adalah bantuan sementara semata-mata. Ketika musim banjir, kita nak satu solution jangka panjang supaya masalah permasalahan banjir ini dapat diselesaikan ataupun dikurangkan. Kalau tengok di kawasan saya ini, setiap tahun penduduk di situ bukannya orang kaya. Mereka adalah pekebun-pekebun kecil, bukan pemilik estet ataupun ladang yang besar. Impak banjir mungkin tidak ada kesan kepada mereka. Pekebun-pekebun kecil baru tengah tunggu hasil tanaman, hancur, rosak. Pada masa yang sama rumah mereka, rumah-rumah lot bukan rumah-rumah banglo. Rumah-rumah lot dengan perkakas yang biasa setiap tahun kena tukar, beli baru. Hari itu bulan Januari banjir, rosak beli pula, Februari banjir lagi sekali. Jadi apakah masa depan mereka? Apa yang kita nak buat untuk mereka generasi seperti ini? Takkan sepanjang zaman generasi ini harus berdepan dengan bencana banjir seperti ini seolah-olah tidak ada masa depan?
Mesti ada satu solution, kerajaan belanja wang berjuta, berbilion untuk pelbagai perkara. Tetapi kita kena cari satu solution bagaimana nak mengurangkan risiko banjir di negeri tercinta kita Johor ini. Kalau kita tak buat sekarang, pada hari ini alam sekitar ni kalau kita tengok climate change ini kita tidak akan tahu berlakunya banjir, bila akan berlaku benda-benda seperti yang kita tidak inginkan. Siapa sangka bulan 1 banjir, bulan 2 banjir semula. Tak pernah berlaku. Dulu kalau banjir bulan 11, bulan 12, sekarang dah masuk 1, 2. Mungkin pada zaman-zaman yang akan datang bulan 5, bulan 4, bulan 3 akan berlaku banjir. Jadi dalam konteks itu saya merayu kepada kerajaan khususnya kepada mereka yang mempunyai kepakaran, tolonglah tampil ke depan cari satu solution. Sekiranya ini tidak kita buat, berzamanlah kita akan menghadapi, lebih-lebih lagi bukan sahaja banjir berlaku di kawasan luar bandar, tetapi pada hari ini banjir berlaku di kawasan bandar. Jadi mana progres kita bagaimana kita nak maju? Kalau benda-benda seperti ini tidak ada solution jangka panjang.
Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan cuba cari solution untuk selesaikan isu banjir bukan sahaja di kawasan saya, tetapi di semua kawasan. Lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar. Kita kadang-kadang saya terdengar juga ada orang yang cerita, orang yang tidak bertanggungjawab mengatakan kalau kawasan itu banjir mintalah mereka pindah? Mereka nak pindah ke mana? Ini orang kampung, yang mereka itulah harta mereka, lot rumah itulah harta mereka. Mereka tidak akan ke mana-mana. Tak ada sebab untuk mereka pindah. Kita sebagai kerajaan mesti membantu mereka mencari solution untuk selesaikan isu banjir di kawasan mereka itu. Jadi inilah satu perkara yang paling penting. Saya harap kerajaan akan memberi fokus sedalam-dalamnya dalam konteks mencari solution untuk banjir ini.
Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana di bawah kepimpinan beliau begitu proaktif, turun padang, mencari pelabur daripada luar negara datang untuk menjemput mereka melabur di negeri Johor. Saya difahamkan ada negara seperti Netherlands, seperti Australia, China semuanya berminat untuk melabur di negeri Johor. Syabas dan tahniah kita ucapkan. Tetapi kita kena ingat bahawa pembangunan negeri Johor tidak harus hanya tertumpu di selatan Johor. Pembangunan negeri Johor mestilah ke seluruh negeri Johor, utara Johor, pertengahan Johor dan sebagainya. Apabila pelabur-pelabur ini masuk ke Johor saya berharap agensi-agensi yang berkaitan, mintalah mereka juga untuk tengok lokasi-lokasi di kawasan-kawasan luar bandar. Mungkin di Kemelah, mungkin di Pasir Raja, mungkin di kawasan-kawasan lain, kawasan-kawasan perkampungan dan sebagainya. Apabila kilang dibuka, industri dibuka di kawasan-kawasan seperti ini, maka kawasan tersebut secara automatik akan maju, kawasan tersebut akan membangun. Ini akan memberi rantaian ekonomi untuk berkembang dan juga akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Seringkali kita terdengar anak-anak muda yang berkelayakan tinggi berhijrah keluar daripada FELDA, keluar daripada desa, keluar daripada ladang. Ini berlaku ialah kerana tidak ada peluang pekerjaan, tidak ada peluang yang setimpal dengan pendidikan yang ada pada mereka di kawasan mereka. Jadi terpaksalah mereka pindah ke kawasan-kawasan lain, ke Kuala Lumpur, ke Johor Bahru dan ke Singapura. Seringkali kita terdengar kenapa rakyat Johor nak bekerja di Singapura? Apatah tidak? Sekiranya tidak ada peluang pekerjaan, pertama tidak ada peluang pekerjaan mengikut kelayakan, tidak ada gaji yang attractive maka dalam dunia moden ini mereka akan berhijrah. Jadi inilah kerugian yang besar kepada negeri kita.
Jadi saya harap dalam konteks pembangunan negeri Johor, kita ada Pelan Mampan Johor 2023 – 2030, kita ada Pelan Strategik Johor, di mana penekanan diberi kepada pembangunan di peringkat daerah dan sebagainya. Jangan hanya memberi fokus kepada industri-industri kecil di kawasan luar bandar, tetapi kawasan luar bandar juga mesti dibangunkan untuk menjadi kawasan yang maju. Dibangunkan untuk menjadi kawasan
yang menjadi economic powerhouse, kalau Johor menjadi economic powerhouse, kejayaan negeri Johor bukan hanya di kawasan Iskandar Malaysia. Bukan sahaja di kawasan selatan Johor, tetapi seluruh negeri Johor mesti merasai limpahan ekonomi yang dibawa ke negeri Johor ini. Jadi saya amat berharap bahawa kerajaan negeri akan peka bahawa pembangunan di peringkat luar bandar juga harus menjadi fokus. Pelabur-pelabur yang dibawa masuk ke Johor. Saya juga harap agar menggalakkan mereka membuka industri kilang dan juga pelaburan mereka di kawasan-kawasan luar bandar.
Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin membawa isu mengenai peluang pekerjaan dan latihan kemahiran. Apabila pelabur masuk ke negeri Johor, selain daripada isu logistik, kemudahan infrastruktur dan sebagainya, perkara yang akan diberi fokus ialah human capital. Mereka memerlukan tenaga kerja mahir, local talent, sekiranya kita terlalu ghairah membawa pelabur daripada luar negara, yang membawa industri yang sophisticated tetapi anak-anak muda kita tidak diberi latihan yang setimpal dan secukupnya berdasarkan apa yang diharapkan oleh pelabur, maka peluang pekerjaan itu akan terlepas daripada tangan kita. Terpaksa pelabur mengambil pekerja daripada negeri lain. Pada satu ketika dahulu apabila Johor ingin membangunkan oil and gas, industry oil and gas, salah satu perkara kerajaan negeri memberi fokus ialah untuk memastikan anak-anak muda Johor mempunyai latihan kemahiran yang secukupnya dalam bidang oil and gas, kerana kita risau ketika itu, sekiranya anak-anak muda Johor tak bersedia, maka pelabur yang masuk akan membawa pekerja daripada Terengganu, Sabah, Sarawak dan sebagainya. Akhirnya kita akan menjadi spectator dalam konteks limpahan ekonomi yang berlaku di depan mata kita. Jadi kerajaan negeri ada banyak agensi, Strategik Modal Insan, Yayasan Pelajaran Johor dan agensi-agensi yang lain, sila pastikan apabila industri baru di bawa masuk ke Johor, kita juga memberi latihan yang sama kepada anak-anak muda kita itu, supaya mereka akan terlatih dan mendapat peluang pekerjaan first choice akan diberikan kepada anak-anak daripada negeri Johor.
Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin menyentuh tentang peluang pekerjaan ataupun peluang kontrak kepada kontraktor-kontraktor kecil India di negeri Johor.
Yang Berhormat ada 2 minit lagi.
Saya faham. Bila kerajaan negeri ada memberi pekerjaan supaya 10% kepada kontraktor kecil India tetapi pada hari ini difahamkan belum lagi diberi walaupun beberapa siri perjumpaan telah pun dibuat dengan pihak EXCO dan juga dengan agensi-agensi seperti dulu TEITO, Amanah, IDJ, SAFWA dan sebagainya, Banyak memberi pekerjaan kepada kontraktor kecil India. Jadi saya harap dalam konteks difahamkan dalam pasca banjir ini ada bajet infrastruktur sebanyak lebih daripada RM160 juta dan sebagainya, saya juga harap perhatian juga akan diberikan kepada kontraktor kecil India.
Yang Berhormat Speaker, tentang isu di kawasan Kahang, antara perkara yang saya nak memberi fokus ialah jeti Kahang. Jeti Kahang sepatutnya menjadi tempat untuk nelayan darat membawa hasil dan sebagainya dan juga menjadi tempat untuk bantuan diberikan ketika banjir, tetapi dalam banjir yang lepas ini, di jeti Kahang hanya tinggal bumbung sahaja. Jeti dah terus tak nampak. Dan banyak kerosakan yang dihadapi dalam jeti tersebut. Saya harap kerajaan negeri ataupun agensi yang berkaitan akan membantu untuk menaik taraf jeti Kahang yang dah usang untuk kemudahan penduduk setempat. Begitu juga pembinaan dataran di Taman Sri Lambak, T6. Saya difahamkan ada proses PBT yang perlu dilakukan untuk mendapat tanah tersebut. Saya harap perkara ini juga akan diberi perhatian oleh agensi berkaitan untuk mempercepatkan pembinaan Dataran Kahang, dataran di Taman Sri Lambak.
Yang Berhormat Speaker, saya juga akhirnya sekali saya ingin menyatakan bahawa saya banyak memberi fokus kepada isu-isu luar bandar dalam konteks itu latihan kemahiran kepada anak-anak muda daripada FELDA, anak-anak muda daripada masyarakat India dan juga daripada kawasan luar bandar harus menjadi fokus kerajaan negeri supaya mereka juga dapat disediakan untuk bersaing dalam konteks pembangunan ekonomi negeri Johor. Yang Berhormat Speaker, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas kebenaran untuk berbahas dalam Sidang pada kali ini dan itu sahaja buat masa ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kahang. Dijemput Yang Berhormat Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh.
Salam sejahtera, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah Diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Undangan Negeri Johor untuk Penggal Ke-15 pada 16 Mac 2023 yang lalu.
Dikesempatan ini juga izin patik bagi pihak rakyat DUN Tiram menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Duli Yang Mulia Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, Yang Amat Mulia Che’ Puan Khaleeda binti Bustamam serta paduka-paduka anakanda atas perkenan mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa banjir, menyumbang tenaga, wang ringgit dan aset-aset untuk meringankan beban mangsa banjir. Patik yakin rakyat Tuanku yang terjejas dengan banjir cukup teruja dan berterima kasih di atas kunjungan dan bantuan yang diberikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga bersetuju dengan ucapan perbahasan Yang Berhormat Gambir, Yang Berhormat Pasir Raja tentang perkara-perkara yang perlu diperbaiki dan ditambah baik dalam menyediakan perkhidmatan terbaik buat penduduk yang terjejas banjir di pusat-pusat pemindahan sementara, khususnya hal-hal berkaitan dengan penyediaan makan minum yang disediakan oleh agensi-agensi terbabit. Bayangkan kalau satu pembekal yang terpaksa menyediakan makan minum di 2 PPS yang berjauhan, sebagai contoh baru-baru ini pembekal yang sama membekalkan makan minum di PPS di sekitar Skudai dan sebuah lagi di Sungai Tiram. Pada pandangan saya ianya tidak bersesuaian kerana jaraknya yang terlalu jauh dan sudahnya sarapan pagi yang diterima di PPS Sungai Tiram hanya terima pada jam 11.00 pagi. Tapi tak apalah pada ketika itu caknanya kepimpinan kita di kawasan tersebut, kita dapat menyediakan makanan lain untuk dibekalkan kepada mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut. Perkara-perkara seperti ini boleh ditambah baik pada masa akan datang sebagaimana cadangan Yang Berhormat Pasir Raja seperti dibuat gotong royong untuk kita sediakan makan minum untuk mangsa-mangsa banjir dan juga petugas di PPS tersebut. Tiram mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dari awal hingga akhirnya sehingga tutupnya PPS semasa musim banjir baru-baru ini. Semoga jasa baik semua menjadi asbab untuk digantikan yang lebih oleh Allah SWT.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah berkongsi dengan Dewan yang mulia ini tentang tujuh usaha kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah banjir semasa menjawab soalan-soalan lisan Ahli Dewan pada hari kedua Persidangan baru-baru ini. Tahniah Yang Amat
Berhormat Menteri Besar, terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Tiram juga mengharapkan agar segala kemajuan teknologi yang ada pada hari ini dapat digunakan seperti penggunaan artificial intelligence dengan izin, ataupun kepintaran buatan dalam melaksanakan inisiatif keenam Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRABAN). Buat masa ini pada pandangan Tiram kerajaan juga boleh menggunakan sistem SMS iaitu SMS yang dikelolakan oleh pihak kerajaan iaitu SMS dapat yang dalam membuat hebahan awal kepada penduduk yang terlibat dengan potensi kawasan mereka dinaiki air pada musim banjir ataupun pada musim hujan lebat. Platform-platform ataupun saluran sedia ada seperti Portal Info Banjir semua cukup baik tetapi, kita bimbang ianya tidak sampai kepada penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko banjir. Gunakanlah data penduduk yang kita perolehi semasa pendaftaran mangsa-mangsa banjir di PPS untuk kita daftarkan nombor-nombor telefon mereka dan sebagainya sebagai satu cara untuk kita menyampaikan, menyalurkan maklumat kepada penduduk sekitar.
Saya juga mengharapkan agar kerajaan negeri terus mengambil serius masalah-masalah infrastruktur pasca banjir dan fenomena hujan lebat. Khususnya masalah-masalah berkaitan dengan kerosakan jalan yang cukup terus khususnya dalam kawasan DUN Tiram juga berlaku seperti di Jalan Kota Tinggi – Johor Bahru berhampiran Bandar Cemerlang dan juga bandar Tiram di kedua-dua arah. Telah berlaku kemalangan yang berulang kali yang melibatkan penunggang motorsikal di kawasan tersebut. Kawasan ini juga dikenal pasti sebagai kawasan yang mengalami kerosakan berulang yang berlaku di kawasan tersebut. Selain daripada itu jalan selepas fenomena hujan lebat baru-baru ini, jalan ke loji Sultan Iskandar dari arah Kampung Cahaya Baru juga cukup rosak teruk. Jalan ini untuk makluman Yang Berhormat EXCO dan hadirin sekalian, merupakan jalan alternatif penduduk di sebelah timur DUN Tiram untuk menghala ke Sungai Tiram ataupun bandar Tiram. Pembaikan jalan juga saya harapkan dapat diselesaikan dirangkaian jalan-jalan mesra di dalam Kampung Pasir Puteh yang juga turut terjejas apabila berlakunya fenomena air pasang yang berserta juga dengan hujan lebat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, itu adalah masalah jalan rosak selepas musim hujan dan juga banjir di kawasan saya. Pagi ini saya baru menerima aduan melalui Whatsapp, melalui Facebook melalui media sosial berkaitan dengan kesesakan jalan yang begitu teruk di bandar Tiram. Mungkin rezeki Yang Berhormat EXCO JKR pada pagi ini untuk menjawab soalan lisan berkaitan dengan kesesakan jalan di kawasan saya pada pagi tadi dan yang ini saya bawa juga masalah kesesakan lalu lintas jalan raya yang berlaku di pekan Tiram. Pelbagai mesej suara yang saya terima yang lebih berbaur kepada marahnya penduduk apabila berhadapan dengannya kesesakan yang begitu teruk akibat pembaikan jalan yang berlaku yang dibuat di hadapan Shell pekan Tiram. Saya dimaklumkan kesesakan berlaku lebih awal sebelum jam 6.30 pagi lagi kesesakan telah berlaku dan telah memberi kesan yang teruk, memberi kesan kepada penduduk yang perlu menghadiri temu janji di hospital dan kebetulan baru masuk ketiga sekolah dibuka, keadaan menjadi begitu teruk memberi masalah kepada penduduk untuk bergerak ke sana dan ke sini. Kesesakan ini berlaku daripada banyak arah, saya dimaklumkan sehingga ke Batu 19, Sungai Tiram dan juga kesesakan ini berlanjutan sehingga ke PULADA di kawasan Yang Berhormat Pasir Raja.
Begitu juga kesesakan ini berlaku dari arah FELDA Ulu Tiram di kawasan Yang Berhormat Puteri Wangsa. Jadi, saya merasakan, kita faham apa yang dilakukan oleh pihak JKR ini merupakan satu kaedah yang baik dalam kita hendak membantu aduan-aduan ataupun menyelesaikan aduan-aduan berkaitan dengan kerosakan jalan raya yang telah yang pernah dibawa sebelum ini. Cuma masalahnya, penduduk tidak dimaklumkan dengan apa yang hendak dilakukan. Maksudnya, saya dimaklumkan bahawa apa yang dibuat pada hari ini memerlukan 24 jam untuk diteruskan proses yang berikutnya. Tetapi, penduduk tidak dimaklumkan akan ditutup jalan tersebut daripada dua lorong kepada satu lorong. Jadi, saya harap selepas ini adanya pemantauan daripada pihak berkuasa ataupun pihak agensi yang berkaitan kerana saya difahamkan pada pagi ini kesesakan yang berlaku ini tiada
kontraktor yang berada di kawasan tersebut. Maksudnya dia dah korek semalam, dia tinggalkan tanpa ada pengawasan dan tiada ada bantuan daripada apa-apa pihak daripada mana-mana pihak untuk melancarkan trafik. Jadi, saya harap perkara ini perlu difikirkan kaedah terbaik untuk kita mengelakkan kesesakan yang menjadi punca yang begitu teruk, yang memberi kesan kepada penduduk untuk pergi bekerja, untuk ke sekolah dan sebagainya. Ada juga sindiran-sindiran yang dibuat dalam komentar-komentar dalam Facebook antaranya, kalau pesakit lambat mungkin dimarahi doktor, tetapi kalau doktor yang lambat pesakit boleh complaint ataupun tidak? Itu antara comment kalau tuan-tuan boleh lihat dalam Facebook saya, dalam Fanpage saya macam-macam comment yang diutarakan oleh netizen dalam Facebook saya. Jadi, saya harap ada tindakan yang sewajarnya daripada pihak Yang Berhormat EXCO dan agensi yang terlibat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, itu berkaitan dengan isu yang panas pada pagi ini yang saya terima, baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Digital ada membuat lawatan ke PEDi, Pusat Ekonomi Digital Sungai Tiram sempena dengan penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Sungai Tiram. Yang Berhormat Menteri memaklumkan kepada Tiram akan ada penambahan 11 lagi buah PEDi lagi di negeri Johor ini. Dalam Dewan yang mulia ini saya mohon Yang Berhormat EXCO dapat mencadangkan kepada pihak Yang Berhormat Menteri KKD untuk menambah lagi PEDi di kawasan DUN yang mempunyai keluasan yang besar dan mempunyai jumlah penduduk yang tinggi. Sebagai contoh, di DUN Tiram itu sendiri saya merasakan perlu penambahan 2 hingga 3 PEDi lagi untuk membantu masyarakat di DUN Tiram ini untuk terus berkarya melalui platform digital khusus dalam meningkatkan pendapatan isi rumah mereka. Selain daripada itu saya juga mohon mencadangkan kepada Yang Berhormat EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat serta EXCO Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam untuk turut menggunakan PEDi ini sebagai platform untuk golongan-golongan yang menerima bantuan daripada JKM dan juga mungkin asnaf-asnaf yang berpotensi untuk memajukan ekonomi dan pendapatan isi rumah mereka. Peluang sudah ada, hanya perlu bawa mereka ke hadapan dan bantu mereka menggunakan kemudahan PEDi yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Jadi, Tiram menggesa agar ketiga-tiga Yang Berhormat EXCO berkaitan dapat bersama-sama berbincang dan merealisasikan hasrat ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan Yang Berhormat EXCO Kemajuan Luar Bandar atas jawapan kepada soalan lisan berkaitan dengan Program Iqra’ dan fardhu ain iaitu IQFA’. Peningkatan pencapaian bilangan kanak-kanak mencecah hingga 1,000% sejak ia diperkenalkan pada 2014 hingga sasaran pada tahun ini walaupun ianya dihentikan pada tahun 2018. Terima kasih kerajaan negeri Johor yang mengembalikan semula IQFA’ ini pada tahun 2021 dan ini menunjukan keseriusan kerajaan negeri dalam memastikan pendidikan juga tidak ketinggalan dan seiring dengan modul yang diperkenalkan oleh pihak KEMAS. Insya-Allah kalau seawal umur 6 tahun mereka sudah menghafaz surah tertentu saya yakin hafazan di sekolah-sekolah agama juga bukan sesuatu yang asing buat mereka apabila mereka mula masuk ke sekolah agama pada darjah 1. Saya sendiri menyaksikan kehebatan anak-anak ini membaca hafazan satu surah yang saya tidak ingat surahnya apa, semasa merasmikan program apresiasi KEMAS Parlimen Tebrau awal Februari yang lalu. Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kejayaan kelas yang saban tahun senantiasa ditambah jumlah kelasnya, jumlah gurunya, jumlah anak-anaknya saya ingin mengambil perhatian tentang elaun yang diterima oleh guru-guru agama yang dipinjamkan ke tadika KEMAS ini untuk mengajar kelas IQFA’. Elaun yang diterima agak rendah berbanding dengan usaha yang dibuat oleh guru-guru agama ini dalam mendidik anak cucu cicit kita. Mohon dipertimbangkan sedikit kenaikan yang setimpal untuk elaun guru-guru IQFA’ ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Permas yang membawa isu pelantikan jawatankuasa masjid dan surau baru-baru ini. Permas dan Tiram ini umpama kalau dicubit peha kiri, peha kanan juga akan terasa
kerana kedudukan DUN Permas dan DUN Tiram ini adalah bersebelahan dan malahan kami juga berkongsi PBT yang sama. Saya yakin ianya bukan sahaja berlaku di Permas, ianya berlaku dibanyak tempat dengan pelbagai aduan yang diterima daripada qariah masjid dan surau terbabit. Ini termasuklah berlaku di beberapa masjid dan surau dalam DUN Tiram. Saya mengharapkan agar ada tindakan yang sebaiknya daripada Yang Berhormat EXCO agama tentang perkara ini.
Yang Berhormat tinggal 2 minit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara sahaja lagi, satu perkara yang ingin saya bawa malahan perkara ini telah dibawa beberapa kali dalam Dewan yang mulia iaitu masalah kesesakan lalu lintas di Taman Kota Masai, Taman Pasir Puteh yang masih belum ada penyelesaian. Ianya juga termasuk dengan isu persimpangan bertingkat di Plaza Tol Cahaya Baru yang masih belum dibuka kepada pengguna dikawasan sekitar. Jadi, besar harapan saya tinggi harapan penduduk di kawasan terlibat agar kerajaan negeri campur tangan tentang masalah pembukaan persimpangan bertingkat berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru tersebut. Titik penyelesaian perlu dicari oleh pihak-pihak yang terbabit. Mohon juga ianya diselesaikan bagi memudahkan demi keselesaan penduduk yang berulang-alik dari Taman Kota Masai menuju ke Pasir Gudang dan juga Tanjung Langsat. Di akhirnya setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua ketua-ketua jabatan dan anak buah mereka di semua agensi yang ada di negeri Johor sama ada agensi kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat yang begitu cakna dengan aduan yang disalurkan kepada mereka dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat. Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan selama ini khususnya sejak setahun kami ADUN-ADUN ini dipilih dalam pilihan raya negeri pada Mac 2022 yang lepas. Semoga kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, pada tahun 2023 dan seterusnya. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan sekadar menyebut beberapa agensi seperti Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Pejabat Daerah Johor Bahru, JPS, JKR, JKM dan agensi yang lain. Sesungguhnya dalam kita menyelesaikan apa jua tugas ini tiada yang sempurna. Tetapi mencari kesempurnaan itu insya-Allah berpahala.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram menyokong rundingan menjunjung kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan. Selamat menyambut bulan Ramadan kepada muslim dan muslimat yang tinggal berapa hari sahaja lagi untuk disambut. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan sebelum-sebelum ini dan bersama-samalah kita berdoa agar ianya bukanlah Ramadan terakhir buat kita semua. Sekian, wabilahhitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Tiram. Ahli-Ahli Yang Berhormat kita ada 7 lagi pembahas yang belum berucap, dan kita akan habiskan di sesi petang dan di sesi petang ni nanti tidak ada waktu rehat, kita akan habis awal dan Ahli-Ahli Yang Berhormat bolehlah nanti balik awal untuk mengopi dan mengeteh dengan pengundi-pengundi di kawasan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.55 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung sekarang. Saya dapati banyak tempat duduk kosong ni, mana pergi Ahli-Ahli Yang Berhormat? Saya harap tidak kosong seperti inilah, kita kena jaga kualiti Dewan Undangan Negeri kita. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selamat sejahtera dan salam madani kepada semua Ahli Dewan. Mengkibol menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di pembukaan Sidang Dewan Negeri, perlulah ia menjadi panduan kepada semua penjawat awam negeri Johor dan ADUN-ADUN Negeri Johor yang tercinta. Ucapan Mengkibol akan menyentuh empat perkara utama:
1. Banjir di negeri Johor. 2. Rejuvenasi bandar atau urban renewal. 3. Reformasi Dewan Negeri Johor. 4. Aduan rakyat.
Pertama, banjir di negeri Johor. Mengkibol mendesak agar peruntukan JKR, JPS dan pengangkutan ditambah dan bukannya dikurangkan 18% seperti dalam Bajet 2023. Mentaliti yang mengatakan banjir tidak boleh diselesaikan juga perlu dihapuskan. Banjir boleh diatasi, banjir boleh dielak. Dengan pengurusan yang cekap dan perancangan teliti secara jangka panjang kerajaan negeri perlu komited dan mempunyai political will untuk menyelesaikan isu ini. Sebagai contoh, atas permohonan Mengkibol projek penambahan crossing culvert di Persimpangan Jalan Mersing – Jalan Kota Tinggi di hadapan Econsave, terima kasih kepada JKR Kluang dan penambahan longkang tepi jalan di Persimpangan Jalan Sekolah, Jalan Lambak, terima kasih kepada MPK telah berjaya diselesaikan dan tidak lagi berlaku banjir kilat setelah masalah bottle neck ini diselesaikan, contoh yang baik.
Selepas banjir besar Johor pada tahun 2006, JPS Kluang mempunyai Rancangan Tebatan Banjir jangka panjang 10 tahun, jangka panjang 10 tahun. Namun ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana tidak diberikan bajet yang mencukupi. Mengkibol juga ingin tahu apakah status pembinaan Kolam Takungan Banjir Sungai Mengkibol yang seluas 17 hektar dan juga Kolam Takungan Banjir Sungai Melantai seluas 35 hektar dan juga Takungan Air Banjir Sungai Kluang seluas 6.7 hektar. Sungai perlu diselenggara secara berterusan, maka Mengkibol mencadang ianya termasuk pendalaman dan pembersihan sungai sebenarnya boleh juga dilaksanakan oleh pihak korporat secara CSR demi mengurangkan kos kerajaan negeri. Mengkibol mencadang GLC dan syarikat korporat haruslah membantu melalui CSR atau sumbangan bagi membantu melegakan kekangan kewangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Banyak projek yang memberi kebaikan kepada kehidupan harian rakyat tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan dan ketirisan kewangan. GLC Johor seperti Johor Corp, KPJ dan lain-lain perlu tampil ke hadapan bagi membantu rakyat. Mengkibol mengambil kesempatan ini juga mengucap ribuan terima kasih kepada syarikat-syarikat dan individu yang menderma bagi banjir kali ini termasuk Zenxin Organic Farm derma RM10,000.00, ada juga yang menderma RM1.00 pun ada dan juga terima kasih kepada sebuah GLC yang besar yang mempunyai cash in hand sebanyak hampir RM460 milion dan syarikat ini setelah Mengkibol memohon CSR, syarikat GLC ini memberi derma sebanyak RM300.00 untuk Kluang dan Paloh. Datuk Speaker susah untuk Mengkibol untuk mengagihkan lebih kurang 6 sen per mangsa sebab di Kluang ada lebih daripada 5,000 mangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, peruntukan khas juga perlu diberikan kepada kawasan ADUN yang kawasannya yang mengalami banjir secara automatik tanpa perlu untuk ADUN memohon. Permohonan-permohonan peruntukan khas Mengkibol untuk banjir di bulan Januari dan permohonan di bulan Mac kepada Pejabat Menteri Besar telah ditolak. Sebenarnya kerajaan boleh memberikan atau menetapkan jumlah peruntukan banjir mengikut jumlah mangsa yang berdaftar mengikut kawasan.
Kedua, Rejuvenasi bandar atau urban renewal dengan izin, saya, tahniah kepada Kluang, saya anak jati Kluang, lahir dan dibesarkan di Kluang. Kluang diiktirafkan sebagai antara 10 bandar paling bahagia tahun 2022, bawah Kajian Indeks Kebahagian PLANMalaysia, bawah KPKT. Yang Berhormat Datuk Speaker, rejuvenasi bandar perlu dilakukan bagi menyuburkan semula ekonomi dan potensi sesebuah kawasan dengan menggabung ciri-ciri budaya dan sejarahnya. Mengkibol konsisten sejak tahun 2018 mempromosikan, melaksanakan banyak program rejuvanasi bandar Kluang dan pembentukan tempat atau place making dengan izin, agar ia dapat memesatkan lagi sosio-ekonomi penduduk setempat. Rejuvanasi bandar saya percaya merupakan solution pembangunan semula dan seimbang bagi bandar sekunder, bandar tertier di seluruh negeri dan negara.
Bandar-bandar seperti Kluang, Segamat, Labis, Pontian telah kehilangan banyak poplulasi muda yang berhijrah ke bandar-bandar besar atau bandar baharu seperti Puchong disebabkan oleh aktiviti ekonomi dan komersial mereka yang rendah. Ketidakseimbangan struktur sosioekonomi ini perlu diatasi segera. Pihak kerajaan negeri perlu menjalankan kajian mendalam dan memikirkan pembinaan semula rantaian industri, industry chain ekonomi dan kaedah rejuvanasi bandar-bandar ini. Mengkibol telah menjalankan kajian tempatan daerah Kluantg bersama kumpulan akademik sarjana tempatan dan antarabangsa seperti universiti tempatan dan juga National University of Singapore (NUS) untuk melihat Kluang dari pelbagai perspektif yang baharu. Hasil kajian ini akan Mengkibol bentangkan di Kluang pada bulan Mei yang akan datang. Mengkibol melihat projek landasan elektrik keretapi berkembar yang melalui beberapa bandar sekunder, bandar tertier akan juga membawa limpahan ekonomi yang sangat besar. Demi menuju ke matlamat sebagai liveable city dan rejuvanasi bandar Kluang, Mengkibol telah mencadangkan Projek Taman Railway Linear Kluang yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, Mengkibol juga berharap projek Jalan Sambung VBC yang telah banyak kali Mengkibol dalam Dewan yang mulia ini akan melancar yakni dapat diselesaikan kerana ia akan melancarkan trafik bandar Kluang. Mengkibol telah dimaklumkan oleh YDP MPK bahawa projek Jalan Sambung VBC ini akan diketuai oleh Pegawai Daerah Kluang bagi menyelaras perancangan dan pelaksanaannya. Terima kasih.
Bagi menjayakan projek rejuvenasi bandar, pendanaan korporat sebenarnya ia boleh juga menjadi salah satu sumber pendanaan projek. Mengkibol menjemput agar syarikat-syarikat GLC kerajaan negeri Johor dapat bersama-sama merealisasikan agenda rakyat ini.
Ketiga, Reformasi Dewan Negeri. Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama, Akta dan Enakmen Pendanaan Politik Awam. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang Reformasi dan Institusi, Datuk Seri Azalina, agenda Akta Pendanaan Politik Awam akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) supaya Akta Pendanaan Politik dapat diperincikan secara bertulis. Akta yang dibentangkan di Parlimen tidak merangkumi untuk pelaksanaan di peringkat negeri. Maka Mengkibol mencadangkan Dewan yang mulia ini juga mengambil langkah proaktif untuk membincangkan keperluan dan kaedah pelaksanaan enakmen ini. Pendanaan politik awam boleh meningkatkan integriti ahli-ahli politik. Mengkibol berharap Johor juga akan menjadikan negeri pertama yang meluluskan Enakmen Pendanaan Politik ini. Pendanaan awam juga harus diperuntukkan kepada calon yang kalah dalam pilihan raya sekiranya mereka mendapat sokongan daripada ramai pengundi supaya mereka walaupun kalah tetapi boleh juga dapat dana awam bagi meneruskan pusat perkhidmatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua ialah Enakmen Anti Lompat Parti Johor. Sebenarnya, banyak kali Mengkibol sebut ini sejak penggal yang lepas. Akta Anti Lompat Parti telah berjaya diluluskan dan dilaksanakan oleh Dewan Rakyat dan DUN Pulau Pinang telah berjaya melucut empat orang ADUN kerana lompat parti dan tahniah kepada DUN Pulau Pinang. Ia merupakan satu langkah ke hadapan bagi meningkatkan kepercayaan
rakyat terhadap sistem demokrasi yang kita amalkan. Sehubungan dengan itu, Enakmen Anti Lompat Parti perlu dibawa untuk diluluskan oleh Dewan NegerI Johor agar ia dapat dilaksanakan di peringkat negeri dan memastikan amalan lompat parti tidak berlaku di Johor. Sudah 8 negeri lulus Enakmen Anti Lompat Parti iaitu Selangor, Penang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan, Sarawak dan Kedah. Negeri Johor seharusnya tidak ketinggalan.
Ketiga ialah Enakmen Kebebasan Maklumat, ini juga banyak kali Mengkibol sebut dalam Dewan. Sebagai langkah proaktif di dalam tata kelola yang lebih telus dan berintegriti, Enakmen Kebebasan Maklumat perlu dibincangkan oleh Dewan ini. Ia membolehkan maklumat diperolehi dan diakses oleh orang awam, pihak awam bagi kepentingan awam. Akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan negeri, kerajaan negeri akan membolehkan kajian terperinci dilakukan dan meningkatkan kualiti semak dan imbang terhadap pentadbiran sesebuah kerajaan. Setakat ini, negeri Selangor, negeri Pulau Pinang sudah ada Enakmen Kebebasan Maklumat.
Keempat, aduan rakyat Yang Berhormat Datuk Speaker, fi kemudahan tambahan Terminal Larkin. Fasiliti caj, caj fasiliti kemasukan ke balai berlepas Singapura. Terminal Bas Larkin telah mengenakan bayaran fasiliti caj tambahan RM1.00 untuk penumpang bas ke Singapura mulai 15 Februari. Caj baharu ini perlu dibatalkan kerana kebanyakan pengguna bas adalah golongan B40 dan mereka bekerja keras untuk mendapatkan pertukaran asing untuk Malaysia. Fasiliti caj ini juga sebagai diskriminasi kerana ini cuma caj terhadap mereka naik bas ke Singapura, terhadap pekerja Singapura pada terminal yang sama hanya penumpang ke Singapura sahaja yang dikenakan fasiliti caj, inisiatif perlindungan kemalangan atau PA insurance untuk pekerja Malaysia yang ulang alik seharian ke Singapura.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi tragedi berlaku kemalangan berlaku, kehilangan ibu bapa akibat kemalangan motosikal terlanggar oleh kereta berhampiran Second Link dan meninggalkan anak berusia 3 tahun dan ibu yang meninggal itu juga mengandung 6 bulan. Ibu ini juga, ini suatu realiti sebenar risiko yang dihadapi oleh pekerja Malaysia yang ulang alik Singapore setiap hari. Saya harap kerajaan dapat membela nasib mereka. Kira-kira 300 ribu orang rakyat ulang alik Singapura untuk bekerja. Mengkibol mencadangkan satu inisiatif insurans PA diwujudkan bagi melindungi mereka, keluarga mereka sekiranya terdapat kemalangan.
Yang Berhormat tinggal satu minit ya.
Sekejap, terima kasih. Cadangan ini sebenar saya pun bincang dengan insurance company mengenai satu perkara yang fleksibel. Selangor pun sudah laksanakan polisi sebegini.
Akhir sekali, pada pembentangan Bajet 2023, sebanyak RM300,000.00 telah diperuntukkan untuk menaik taraf fasiliti Gunung Lambak di kawasan DUN Mengkibol. Pihak kami mencadangkan pencahayaan dan fasiliti pendakian waktu malam. Mengapa waktu malam? Sebab pada waktu malam ia satu pengalaman yang baharu. Pelancong dapat melihat keunikan dan kepelbagaian hidupan liar dan juga spesis serangga yang cuma keluar pada waktu malam. Selain itu, ia akan meningkatkan pelancongan kerana pengunjung perlu menginap di Kluang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali Mengkibol berharap agar usul-usul dan cadangan-cadangan ini yang dibawa oleh Mengkibol dapat dipertimbangkan dan seterusnya dilaksanakan. Mengkibol mohon menyokong Rundingan Menjunjung Kasih Titah Tuanku. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Mengkibol. Sekarang dijemput Yang Berhormat Kempas.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan Doa). Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya Kempas berpeluang mengambil bahagian membahaskan usul Menjunjung Kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Negeri Johor Darul Ta’zim. Justeru Kempas menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas keberkatan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor yang ke-15 pada 16 Mac 2023 yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin mengambil kesempatan dalam ucapan pada petang yang mulia ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan barisan EXCO kerajaan negeri kerana telah melepasi tempoh setahun pentadbiran mereka. Pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan kita sebagai rakyat negeri Johor telah diraih dari sudut ekonomi dan pelaburannya, pembangunan belia dan sukannya malah urus tadbir yang cekap serta mampan yang meletakkan nama Johor gah di persada politik, di persada domestik serta antarabangsa. Maka dengan segala keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, hala tuju untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030, pasti akan dapat direalisasikan dengan izin Allah SWT jua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas sangat menyokong idea program Johor Bersih yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Kempas melihat program sebegini amat penting dalam mendidik masyarakat ke arah kebersihan sejagat. Matlamat menjadikan Johor sebagai negeri maju bertaraf antarabangsa perlu seiring dengan tahap kebersihannya. Agama juga menggesa kita untuk menjaga kebersihan, kerana kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman. Kempas sendiri sudah menyahut seruan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang menjalankan beberapa program Johor Bersih seperti di kawasan Kampung Denai Aman, Taman Bukit Kempas, Taman Cempaka dan beberapa lokasi lain. Sebegitu dalam hal ini Kempas ingin memanjangkan sedikit isu yang disifatkan sangat penting iaitu masalah kewujudan tapak pelupusan sampah haram di kawasan Bandaraya Kempas yang menghadirkan pencemaran dengan lambakan pembuangan sisa pepejal, sisa binaan dan mungkin sisa toksik yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Untuk makluman Dewan yang mulia, isu ini sebenarnya sudah berlarutan sejak 2019 hingga kini. Ada yang mengatakan isu ini berlaku di atas tanah milik persendirian status tanah pertanian ini telah berlaku dalam tempoh lebih lama daripada itu. Adalah amat tidak wajar tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang membenarkan pembuangan sisa kawasan ini memandangkan lokasi ini terletak berdekatan dengan kawasan perumahan terutama Taman Bukit Kempas. Agak malang bagi penduduk sekitar khususnya yang tinggal tidak jauh daripada lokasi tapak pelupusan sampah haram ini apabila berhadapan dengan ancaman pencemaran bau yang berkemungkinan mengandungi toksik yang amat kuat selain pencemaran air berikutan sisa buangan yang tidak terkawal kerana terdapat kawasan tadahan air berhampiran.
Maka menjadi tanggungjawab Kempas untuk membuat penegasan sekali gus memanjangkan isu ini di dalam Dewan yang mulia ini. Seterusnya berharap EXCO kerajaan Johor yang bertanggungjawab dapat memberikan perhatian terhadap isu yang telah sekian lama membelenggu rakyat sehingga mendapat liputan arus media beberapa kali. Tindakan
penguatkuasaan yang tegas perlu diambil bagi menghentikan secara kekal aktiviti pembuangan dan pelupusan sampah haram ini kemudian disusuli dengan usaha atau proses untuk memulihkan semula keadaan tanah di lokasi ini. Kempas melihat mendapat kewajaran yang signifikan untuk dilakukan semua ini memandangkan sisa buangan dan kemudian sisa toksik dibimbangi sudah meresap jauh ke dalam tanah. Apa yang turut menjadi kegusaran Kempas adalah kewujudan tapak pelupusan sampah haram di kawasan Kempas ini akan menjadi masalah yang lebih besar pada masa akan datang dan ia terkait dengan soal kesihatan penduduk sekitar sehingga berulangnya kejadian pencemaran seperti Sungai Kim Kim Pasir Gudang tahun 2019 yang telah menggemparkan negara. Justeru kerajaan menerusi EXCO kerajaan Johor yang bertanggungjawab bersama dengan jabatan agensi yang berkaitan perlu menguatkuasakan undang-undang sekali gus menggesa pemilik tanah persendirian ini untuk menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab ini dengan segera untuk memulihkan keadaan tanah sebagai syarat dan status tanah. Sekiranya pemilik tanah gagal untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan maka Kempas mengusulkan kepada kerajaan supaya mengambil tindakan mengikut lunas perundangan, mengikut peruntukan seksyen 129 Kanun Tanah Negara dan tindakan untuk menguatkuasakan pelucut hakkan kerana pelanggaran syarat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga pada pihak KPKT dan SUK Perumahan Negeri Johor yang telah memberikan peruntukan pada PPR Kempas Permai. Untuk makluman, menerusi peruntukan telah diberikan, terdapat pemasangan satu lif baharu di Projek Perumahan Rakyat PPR Kempas Permai dengan kos RM10.3 juta serta RM2.4 juta bagi kerja-kerja mengecat. Alhamdulillah Kempas juga amat berbesar hati telah menerima lawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz pada 3 Januari lalu bagi melihat sendiri kemajuan kerja-kerja baik pulih tersebut. Bagaimana pun terdapat satu lagi isu penting ingin Kempas bawakan di Dewan yang mulia ini. Isu tersebut adalah berkaitan isu parkir atau tempat letak kenderaan di kawasan PPR Kempas Permai yang berada pada tahap kritikal dan menuntut perhatian kerajaan untuk mencari penyelesaian secara tuntas demi kemaslahatan penghuni.
Untuk makluman, PPR Kempas Permai ini terdapat 2,250 unit rumah dengan 780 petak parkir sahaja. Ini telah menunjukkan ketidak seimbangan antara unit rumah dengan ruang parkir yang tidak sepatutnya berlaku. Kempas melihat isu ini tidak boleh dipandang enteng atau remeh oleh semua pihak. Bayangkan apabila berlakunya situasi kecemasan penduduk terpaksa mengalihkan kenderaan penduduk lain yang telah diletakkan secara bertindih. Menolak satu persatu kereta yang diparkir bertindan untuk mengeluarkan kereta sendiri dari ruang parkir. Sebagai makluman pertambahan jumlah bilangan kenderaan di kawasan pelan ini datang daripada pelbagai faktor. Antaranya disebabkan bertambahnya bilangan ahli keluarga bersatu isi rumah. Sekiranya sebuah keluarga terdiri daripada ibu bapa dan 3 anak dewasa yang tinggal sebumbung, berkemungkinan mereka memiliki 3 atau 4 kereta bagi keluarga tersebut. Patutnya tidak dapat dikaut oleh kerajaan namun Kempas berkeyakinan ia dapat diatasi dengan kaedah dan berkarisma parti yang boleh ditetapkan oleh kerajaan.
Faktor lain adalah lambakan kenderaan yang tersadai disebabkan kerosakan atau ketiadaan pemilik yang diletakkan di ruang disediakan sehingga menyumbang kepada masalah jumlah letak parkir. Tak kurang pula ada segelintir tindakan penduduk yang bekerja sebagai pemandu membawa kenderaan berat syarikat dan kemudiannya meletakkan kenderaan berkenaan di tempat parkir kereta yang disediakan. Pada akhirnya parkir pasukan ini telah mengakibatkan kuota atau ruang letak parkir disediakan untuk penduduk setempat terganggu, berkurangan atau mungkin menjadi rebutan. Bagaimana pun kita tidak perkara ini boleh diatasi dengan ketegasan pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan. Selain kerjasama mesti tindakan kompaun pelupusan kenderaan di Pihak Berkuasa Tempatan, PBT dan ia juga menuntut kerjasama pihak Badan Pengurusan PPR.
Di samping itu, Kempas melihat sebagai status perumahan awam, keadaan hampir sukar untuk mengehadkan pembelian kenderaan yang boleh parking berstiker penduduk. Apatah lagi dengan masalah ketiadaan ruang untuk meletakkan kenderaan. Maka Kempas ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri Johor supaya membenarkan multilevel parking atau sistem parking bertingkat. Kempas berpandangan, di kesempatan ini amat sesuai dengan perkembangan dan keadaan penduduk di PPR Kempas Permai dengan mengguna pakai material seperti besi dan keluli dalam pembinaan. Pemasangan struktur akan hanya melibatkan kerja plug ini sahaja sekali gus dapat menjimatkan kos pembinaan selain turut menjimatkan bahkan utilise, dengan izin ruang yang ada serta diperlukan. Sekiranya dapat disediakan sistem ini, Kempas percaya, isu bilangan parkir Kempas kian terhad mungkin dapat diatasi seterusnya sedikit sebanyak dapat digunakan pada jangka masa yang lama serta sekiranya ianya dapat dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri Johor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri Johor demi kemudahan dan keselesaan penduduk. Untuk itu Kempas mengalukan inisiatif Kempas Permai sebagai model contoh atau projek perintis.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor agar melakukan pemerkasaan terhadap modul kursus Pra Perkahwinan terutama melibatkan topik serta mental untuk para peserta kursus yang berhasrat mendirikan rumah tangga. Sekiranya kerajaan negeri masih belum dapat atau belum berupaya untuk mewajibkan ujian saringan minda sihat sebelum bernikah maka sebagai langkah awal adalah lebih baik untuk kerajaan negeri memberikan tumpuan terhadap usaha perkasakan pemeriksaan mental di dalam modul kursus pra perkahwinan negeri Johor dengan lebih terperinci. Sekarang ini dibuat oleh Kempas rentetan daripada isu-isu berkaitan fizikal dan mental di kalangan pasangan muda untuk hari ini yang semakin menggusar bimbangkan saban hari yang akhirnya membawa kepada penceraian. Pemerkasaan topik ini amat penting bagi memberikan pendedahan mahupun kesedaran kepada pasangan yang ingin berkahwin terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental pada tahap lain.
Syukur untuk Kempas berkongsi contoh dewan yang mulia ini salah satu masalah mental ini adalah penyakit skizofrenia. Menurut petikan artikel penyakit mental dan bukan dalam portal MyHealth, Kementerian Kesihatan yang bertarikh 19.12.2013. Penyebab yang khusus bagi penyakit skizofrenia belum dijumpai dan ia dikelaskan sebagai multi fracture syndrome yang membawa maksud mungkin disebabkan oleh faktor genetik dan juga mungkin faktor persekitaran yang memainkan peranan sebagai penyebab penyakit ini. Antara fakta lain adalah penyakit ini juga punca daripada ketidakseimbangan dopamine yang berfungsi sebagai neurotransmitter iaitu bahan kimia yang juga dikenali sebagai penghantar neuron atau penghantar impulse dalam otak. Kesan bagi ini memberi impak yang buruk terhadap kehidupan harian seorang yang menerima gangguan berbentuk halusinasi dan juga delusi. Jadi diambil kira mengenai penyakit ini, mungkin premier untuk pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan jabatan agensi berkaitan lain untuk mendasari penyakit mental dan institusi kekeluargaan terutama pada pasangan muda pada hari ini.
Oleh itu, saya ini bukanlah kejam kepada golongan yang mempunyai penyakit berkaitan tanpa mengetahui tahap sama ada minor atau major tapi asalnya adalah memberikan kesedaran kepada peserta yang bakal mendirikan rumah tangga ini agar dapat mungkin dapat melakukan saringan awal dan mengambil langkah susulan yang sewajarnya seperti mengawal dengan cara perubatan atau sebagainya sekali gus mengatasi mainan emosi dalam perkahwinan tanpa melibatkan sebarang insiden keganasan yang melibatkan fizikal atau meragut nyawa pasangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas seterusnya ingin majukan dalam ucapan perbahasan pada hari ini adalah berkaitan dengan terhadap isu permasalahan lampu
sepanjang jalan sekitar DUN Kempas. Untuk makluman Dewan yang mulia, Kempas merupakan sebuah kawasan terletak di dalam kawasan Bandar raya Johor Bahru, lokasi Kempas yang begitu strategik dan menghubungkan segala akses kemudahan yang ada seperti Hospital Pakar Kempas, Stesen Keretapi Tanah Melayu KTMB, Kolej Kesihatan Bersekutu di bawah Kementerian Kesihatan dan Kempas juga berhampiran dengan Pejabat Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika. Selain itu, terdapat banyak juga kawasan perumahan terletak di dalam DUN ini. Kempas menjadi sewajarnya segala kemajuan dan kepesatan pembangunan di DUN ini adalah selari dengan infrastruktur pencahayaan dan jalan rayanya. Terdapat keperluan untuk kawasan ini diberikan solusi isu pencahayaan yang mencukupi serta jalan teratur oleh kerajaan. Maka Kempas ingin mohon kerajaan negeri agar dapat memberikan keutamaan bagi menaik taraf pencahayaan di kawasan yang sebelum mempunyai lampu jalan termasuklah di kawasan-kawasan kampung tradisi seperti Kampung Denai Aman, Setia Kempas 2 dan taman-taman lama seperti Taman Dahlia.
Di Taman Dahlia sebenarnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang pihak MBJB pada tahun 2020 lagi telah pun memberikan persetujuan dan telah mengarahkan pihak TNB untuk memasang lampu jalan di kawasan tersebut, ketika itu pihak TNB tidak dapat menjalankan kerana terdapat kekangan semasa PKP menyebabkan kerja-kerja ini telah tertangguh. Memandangkan keadaan telah pun lama pulih seperti sedia kala, dipohon agensi berkenaan dapat menyediakan pemasangan lampu jalan di kawasan tersebut. Manakala bagi kawasan yang tidak mempunyai akses kepada elektrik dicadangkan agar kerajaan dan mula pakai sistem panel solar bagi lampu-lampu jalan tersebut. Saya ini dilihat praktikal dan ianya lebih menjimatkan kos dan mudah untuk dipasang. Selain itu, masa optimum kemudahan lampu jalan yang menggunakan sistem solar ini hanya bergantung kepada waktu dan keadaan cuaca namun ia dapat memberikan pencahayaan yang mencukupi sekali gus meningkatkan aspek keselamatan melibatkan soal jenayah dan kemalangan. Menyentuh tentang keadaan jalan adalah tidak lengkap jika menyentuh masalah keadaan jalan raya. Hal ini dapat dilihat mulai sepanjang Jalan Kempas Baru atau sebahagian besar penduduk memberikan gelaran nama jalan ini sebagai ‘highway tengkorak’. Kenapa penduduk menggelarkan sedemikian? Ini kerana jalan ini mempunyai dua lorong dan keadaan dua hala serta permukaan cerun jalan ini yang beralun dan agak gelap pada waktu malam. Laluan ini dan laluan alternative pertama antara pusat bandar ke Lebuhraya Utara – Selatan, perkara ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalulintas pada waktu puncak, bahkan lebih mengerikan lagi jika berlaku kemalangan di jalan ini, ia membawa kepada kemalangan maut yang meragut nyawa di kawasan berkenaan. Justeru, Kempas berharap laluan tersebut yang sebahagiannya telah dilebarkan kepada empat lorong dapat dinaik taraf kepada empat lorong keseluruhannya di jalan tersebut, bermula di persimpangan Lebuh raya Pasir Gudang sehingga ke Taman Setia Tropika. Semua ini akan dapat meningkatkan keselesaan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut yang sesuai dengan lokasinya yang terletak di dalam kawasan bandar raya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin turut berdukacita dan bersimpati kepada mangsa-mangsa yang mengalami banjir di beberapa daerah di Johor baru-baru ini. Semoga mereka tabah dan redha menempuhi ujian pada kali ini dan lebih teruk daripada keadaan banjir sebelum ini. Kempas bersyukur kerana pada kali ini kawasan DUN Kempas tidak terlibat dalam kejadian banjir walaupun kebiasaannya Kempas turut menjadi kawasan hotspot banjir dalam daerah Johor Bahru. Dalam menghadapi masalah banjir yang berlaku, Kempas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, yang telah menggariskan usaha-usaha bagi menangani mangsa banjir di Johor, serta cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir. Kempas juga mengucapkan terima kasih kepada usaha kerajaan negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran yang akan memulakan kajian terhadap Projek Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Tebrau. Projek ini sedikit sebanyak akan dapat memberikan impak positif dalam mengurangkan kejadian banjir terutamanya di kawasan Permatang Kempas, Kempas berharap dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera.
Di akhir ucapan ini, marilah bersama-sama kita berdoa agar usaha kerajaan negeri dalam menjayakan agenda Maju Johor demi melihat Johor menjadi maju menjelang tahun 2030 Insya-Allah akan tercapai. Marilah kita bersama bagi pihak kerajaan mahupun di pihak pengimbang kerajaan berganding bahu dan menjayakan hasrat ini. Semua yang diusahakan perkara ini bukan semata untuk kita sahaja, tetapi untuk anak cucu kita, generasi kita pada tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang. Sesungguhnya pencapaian dan kejayaan yang telah ditempuh tidak akan datang secara bergolek, tetapi hadir dengan iltizam dan impian yang menggunung, semangat juang Bangsa Johor yang dipacukan dengan pegangan Johor mesti jadi Johor, semoga negeri Johor akan terus memperoleh kejayaan dan terus menjadi tauladan bagi negeri lain dalam segenap aspek.
Akhir kata, Kempas ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua Ahli Dewan yang beragama Islam, semoga kita semua sudah bersedia sekali gus tidak melepaskan peluang, dengan kehadiran bulan Ramadan ….. dengan pelbagai fadilat dan keberkatan besar Insya-Allah. Sekian wabilahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Kempas mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Kempas. Sekarang dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya memulakan ucapan ini, pertama saya melafazkan janji ditunaikan, memberi satu undi kepada Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat.
Bismillahirahmanirrahim. (Doa) Assalamualaikum warahmatullhitaala wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Makmur Johor. Pertama sekali saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur kepada Allah SWT pada petang yang berbahagia ini, saya diberi keizinan untuk bersama mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
Yang Berhormat Datuk Speaker, patik merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Tak’zim atas perkenan Tuanku merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, Khamis yang lalu. Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan menjadi pegangan dalam menjalankan tugas dan amanah sebagai Wakil Rakyat di kawasan DUN Kota Iskandar ini. Patik merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih ke atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan kerabat Diraja Johor turun menyantuni dan memberikan sumbangan kepada rakyat jelata, khususnya kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda negeri baru-baru ini. Keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan kerabat Diraja Johor memberi suntikan semangat kepada patik dan rakan-rakan Yang Berhormat memberi khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat-rakyat di kawasan masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor serta EXCO-EXCOnya yang sentiasa prihatin dan turun padang menyantuni mangsa banjir yang lalu. Ternyata banjir kali ini antara yang terburuk sehingga menjejaskan kira-kira 85,000 mangsa, malah hingga kini masih ada lagi rakyat terpaksa menduduki Pusat Pemindahan Sementara (PPS) khasnya di kawasan Batu Pahat. Namun Kota Iskandar berharap bantuan yang ada, yang
disalurkan oleh kerajaan persekutuan, mahupun kerajaan negeri dapat diberikan segera bagi membantu mangsa memulakan kembali kehidupan pasca banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir kali ini memang luar biasa. Kota Iskandar berharap semua mangsa banjir terutama di kawasan DUN-DUN yang terlibat sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT. Walau bagaimanapun, Kota Iskandar meminta pihak berkuasa meneliti punca-punca yang menyebabkan banjir yang melanda dengan cepat, pantau dan sentiasa selenggara parit, longkang jika ada yang tersumbat, sungai-sungai cetek harus didalamkan bagi melancarkan aliran air ke muara supaya tidak melimpah ke kawasan-kawasan yang rendah. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan, bukannya apabila banjir melanda baru hendak kita bertindak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Baginda menekankan peri pentingnya menyediakan kemudahan yang baik untuk rakyat. Justeru, memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan infrastruktur kemudahan yang baik demi keselesaan rakyat jelata. Dalam melaksanakan semua usaha tersebut, terdapat beberapa isu yang Kota Iskandar ingin bawakan, diberi perhatian tumpuan utama dalam kawasan Kota Iskandar. Pertama, kesesakan di pintu sempadan. Isu kesesakan pintu sempadan khususnya Kompleks Sultan Abu Bakar bukan isu baru, terutamanya pada hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kota Iskandar ingin merakam ucapan terima kasih kepada Tanjung Piai dan Stulang yang turut membangkitkan isu ini serta pelbagai cadangan-cadangan yang baik diusulkan untuk mengatasi kesesakan tersebut. Walaubagaimana langkah di ambil, namun isu ini ibarat air pasang surut. Ada masalah berlaku kesesakan luar biasa khususnya semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, serta cuti umum, apabila banyak pihak ingin bercuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Keadaan sesak ini bertambah teruk sekiranya masalah atau gangguan pada sistem yang di guna pakai sehingga melambatkan proses keluar masuk sempadan Malaysia dan Singapura. Sebagai Wakil Rakyat Kota Iskandar, saya hari-hari menerima aduan tentang kesesakan yang berlaku khususnya di KSAB ini. Saya mengharapkan supaya isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk sempadan Malaysia, Johor ini diatasi segera kerana isu tersebut boleh menjejaskan imej negara dan negeri kita yang kini sedang berusaha menjadi negeri yang maju di masa yang akan datang ini. Malu kalau kita asyik mencanangkan negeri maju, tetapi cara kerja dan sistem yang diguna pakai tidak menggambarkan sebagai sebuah negeri yang maju.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar ingin mencadangkan bayaran VEP, Vehicle Entry Permit dengan izin Datuk Speaker, yang dikenakan terhadap kenderaan dari negara jiran dinaikkan. Saya dimaklumkan pada masa ini, bayaran RM20.00 dikenakan terlalu rendah jika kita mengambil kira kadar Ringgit Malaysia dengan Dolar Singapore, nilai RM20.00 hanya bersamaan dengan SD6.00. Ibarat kata orang, celah gigi sahaja jumlah bayaran itu boleh mereka bayar. Justeru, saya mencadangkan supaya kadar bayaran tersebut dinaikkan kepada RM40.00 atau hingga RM50.00 bagi setiap kenderaan. Jika tidak dapat dilakukan pada hari biasa, bayaran boleh dikenakan pada hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad. Langkah ini sekali gus mampu menambah pendapatan negara dan negeri dan hasil kutipan yang diperolehi juga boleh dipulangkan semula kepada semua pengguna dari kedua-dua negara iaitu dengan menyediakan kemudahan yang lebih baik. Apabila kemudahan dan sistem disediakan lebih baik, maka isu kesesakan yang sering berlaku mampu dikurangkan. Jadi kedua-dua pihak mendapat manfaat kepadanya, malah Kota Iskandar dimaklumkan bahawa kadar RM20.00 dicajkan, dikenakan sekarang sudah lama tidak dikaji semula. Kini sudah tiba masanya perkara ini kerajaan negeri dan pusat meneliti semula. Saya mohon supaya perkara ini diangkat ke peringkat lebih tinggi dan dipertimbangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara yang kedua. Selepas pasca banjir ini, banyak jalan rosak dan berlubang. Isu ini bukan baru, malah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam
titah Baginda semasa merasmikan Persidangan Dewan yang mulia ini pada Khamis yang lalu telah menzahirkan kesedihan tentang jalan-jalan di negeri yang banyak rosak dan membimbangkan, hingga rim kenderaan Baginda pun turut bengkok. Malah isu jalan berlubang ini bukan sahaja di kawasan kampung dan pekan kecil, banyak jalan yang ada di bandar, termasuk di bandar raya Johor Bahru yang ditadbir dan diseliakan oleh tiga Majlis Bandaraya, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan termasuk juga Majlis Perbandaran Kulai. Di kawasan Kota Iskandar ini, jalan utama khususnya Jalan Skudai – Pontian banyak kawasan yang mengalami kerosakan dan berlubang, khususnya dari Universiti Teknologi (UTM) ke Jalan Ulu Choh dan terutama di kawasan Jalan Taman Pulai Indah, Pulai Perdana dan Kangkar Pulai serta sekitarnya. Memandulah ke sana. Kiri dan kanan jalan kedua arah banyak kerosakan dan lubang-lubang. Saya mohon, mohon kerosakan ini dibaik pulih dengan baik. Bukan ibarat melepas batuk di tangga, bukan hanya menampal begitu sahaja lubang-lubang tersebut, dan kerosakan yang ada tidak akan berkesan, tidak menyelesaikan masalah yang sering berlaku hari ini, tampal beberapa hari kemudian rosak esok harinya.
Justeru itu, Kota Iskandar mohon supaya Jurutera sama ada Jabatan Kerja Raya, MBIP dan Majlis Perbandaran Kulai sentiasa memantau dan memastikan kualiti kerja dilaksana mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Sekiranya kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kontraktor mesti diminta melaku semula tugasan tersebut. Jangan hanya kita menunggu laporan di pejabat. Turun dan periksa kualiti kerja yang dilakukan. Ini kerana banyak kerja baik pulih yang dijalankan ibarat hanya buat dan dalam tempoh yang singkat. Jalan akan berlubang dah rosak, apatah lagi dengan keadaan cuaca sering hujan dan cuaca yang tidak menentu. Selain faktor struktur muka bumi yang lembut, kerosakan jalan raya juga disebabkan oleh kenderaan berat, khususya lori-lori yang sering membawa lebih muatan. Perkara ini pun diakui oleh EXCO Pengangkutan dan Kerja Raya, semasa penyerahan Jalan J4 pada minggu yang lalu. Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku? Jelas kerajaan menerusi beberapa agensi yang berkaitan perlu meningkatkan penguatkuasaan. Justeru Kota Iskandar mohon supaya, jabatan jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) dan Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat supaya berganding bahu menjalankan pemeriksaan. Jika kemampuan jalan itu hanya boleh menampung 30 tan muatan, tindakan mesti di ambil ke atas pemandu dan syarikat pengangkutan yang melanggar syarat tersebut. Usah tutup mata, tapi buka telinga dengar aduan rakyat. Jalan raya ini milik semua. Justeru, nyawa semua pengguna harus dijaga, jangan ada suatu insiden buruk berlaku kerana kecuaian dan lambat tindakan kita. Nyawa itu tiada nilainya berbanding kos yang digunakan untuk baik pulih jalan yang rosak dan berlubang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keperluan mesin ATM di kawasan yang tertentu. Seiring dengan kepesatan dan pertambahan jumlah warga di kawasan Bandar Baharu Kangkar Pulai, Pulai Indah, kawasan-kawasan yang sekitarnya, kawasan ini amat memerlukan mesin ATM. Kawasan ini mempunyai lebih 10 taman dengan kira-kira 50,000 penduduk. Justeru, saya memohon supaya bank-bank yang ada dalam memberi perkhidmatan mereka kepada penduduk di kawasan tersebut walaupun tidak membuka cawangan, cukup pada masa ini dengan menempatkan mesin-mesin ATM di premis-premis kedai ataupun di premis-premis, kiosk minyak dan sebagainya untuk kegunaan penduduk. Jadi penduduk di taman-taman perumahan Bandar Baharu Kangkar Pulai dan taman sekitarnya tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan bank menerusi mesin ATM yang disediakan. Walaupun pada masa ini urusan dan khidmat bank dapat dilakukan secara digital ataupun dalam talian, namun khidmat seperti pengeluaran dan memasukkan wang menerusi mesin ATM masih diperlukan. Kita perlu sedar bahawa tidak semua orang selesa dengan urusan secara talian khususnya golongan orang-orang lama atau warga emas. Dengan ada mesin ATM ditempatkan di premis-premis perniagaan akan dapat memenuhi keperluan mereka.
Yang Berhormat...
Yang Berhormat Datuk Speaker...
Tinggal dua minit.
Kemudahan sekolah agama di Johor. Institusi pendidikan agama Johor amat terkenal dengan sistem tersusun dan moden mendahului negeri-negeri lain malah negeri lain mengambil contoh sistem khususnya dalam aspek pendidikan agama. Namun saya ingin melahirkan kekecewaan terhadap kemudahan disediakan di beberapa sekolah terutamanya di kawasan Kota Iskandar ini, sebagai contoh Sekolah Taman Pulai Indah. Anak-anak terpaksa belajar dalam keadaan sesak, dimaklumkan sekolah tersebut menempatkan kira-kira hampir 2,000 murid. Bayangkanlah Datuk Speaker diri kita dalam keadaan sesak bagaimana dalam memberi tumpuan sepenuhnya waktu pembelajaran. Lebih menyedihkan lagi apabila saya dapati murid terpaksa belajar di koridor dan menumpang di surau yang berhampiran di sekolah tersebut. Ini tidak mencerminkan nilai dan imej institusi pendidikan agama Johor. Perkara ini bukan sahaja tidak berlaku malah paling utama ditangani segera. Kota Iskandar mohon Jabatan Agama Islam (JAINJ) mencari tapak baharu untuk dirikan sekolah agama yang baharu untuk murid-murid tersebut. Jangan biarkan anak kita terus belajar dalam keadaan sesak, tidak selesa malu kita dengan orang lain sedangkan imej pendidikan agama Islam disanjung oleh pelbagai pihak. Justeru Kota Iskandar mohon EXCO dan Jabatan Agama turun padang pantau cari solusi untuk mengatasi masalah tersebut.
Saya ingin menyentuhkan satu lagi yang amat menyedihkan. Pembinaan sekolah agama di Kampung Sungai Melayu tanah dibeli tahun 2012 tetapi sehingga kini tidak dapat dibina kerana tapak tanah yang dibeli tidak bersesuaian dan tidak cukup had untuk membina sekolah. Apakah perkiraan ketika dibeli tanah tersebut sedangkan sekolah tak dapat dibina hingga memumpang Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu dan kekurangan guru-guru agama juga harus diatasi segera di semua sekolah-sekolah agama di dalam kawasan Kota Iskandar.
Oleh kerana masa tidak mengizinkan satu sahaja Yang Berhormat Datuk Pengerusi, Rumah Makmur Johor. Mengapa rumah ini tidak dapat diteruskan? Besar harapan rakyat, rakyat di kawasan Kota Iskandar ini memerlukan rumah yang mampu dimiliki. Saya kira kalau rumah ini baik, perlu diteruskan. Dan akhirnya pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat di kawasan Kota Iskandar ada tiga perkara pengorbanan yang besar Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama, pengambilan tanah pembinaan Jambatan Kedua, Second Link, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan pusat kerajaan itu sendiri telah mengorbankan rakyat, mengorbankan tanah untuk pembangunan. Apakah salah kiranya, apalah kiranya, apalah kiranya ihsan kerajaan Johor membalas Johor penduduk Kota Iskandar dengan membina sebuah hospital yang baharu di dalam kawasan Kota Iskandar yang sangat-sangat memerlukan. Itulah harapan Kota Iskandar di akhir-akhir ucapan ini.
Dengan kata-kata itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi mengucapkan banyak terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan yang bertungkus lumus membantu kita menyelesaikan masalah dan kehendak penduduk di kawasan Kota Iskandar. Terima kasih daun keladi, kalau kami mohon pertolongan bantu-bantulah lagi. Akhir kata, sebelum mengakhiri ucapan ini Kota Iskandar sekali merafakkan sembah dan menjunjung setinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Naungan Baginda menjadikan negeri Johor Darul Ta’zim amat kita cintai kini kekal aman damai serta harmoni. Semoga Tuanku dan kerabat DiRaja sentiasa dalam lindungan Rahmat Allah SWT. Kepada Yang Berhormat Datuk Menteri Besar semoga memimpin negeri Johor dengan baik khususnya dalam melonjakkan lagi ekonomi dan pembangunan negeri sekali gus membawa manfaat besar kepada rakyat Bangsa Johor yang kita sayangi.
Datuk Speaker, saya mendapat rintihan daripada ramai yang hadir pada hari ini sound system yang dalam Dewan ini perlu dibaiki semula, ada yang kita toleh ke belakang mengangguk rupanya nak mendengar ucapan Yang Berhormat-Yang Berhormat tetapi sound system nya mengganggu untuk mencatit apa yang dicatitkan, apa yang disuarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kota Iskandar menjunjung setinggi-tinggi kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Kepada Allah kita berserah, Allah berkati Johor. Kota Iskandar mohon menyokong. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warah matullahi taala wabarakatuh.
Terima kasih Kota Iskandar. Sekarang dijemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam maju Johor. (Bacaan selawat). Alhamdulillah, kalau berakit saudara berlima, jangan dilupa bawalah pukat, ada sedikit kongsi Maharani bersama, besarnya nikmat membawa berkat. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi laluan kepada Maharani untuk membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Puji dan syukur kehadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan rahmatNya berlangsungnya Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Ke-15 kali ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadikan pedoman kita dalam kehidupan pada hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan ini patik ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sudi hadir dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan kali ini. Patik juga ingin merakamkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan kerabat-kerabat Diraja yang telah berkenan sudi hadir di dalam Persidangan ini.
Alhamdulillah telah genap setahun Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor dipilih dan dilantik. Maharani mengucapkan syukur kehadrat Allah SWT di atas ucapan titah Tuanku yang berpuas hati terhadap semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor ini. Mengambil kesempatan ini juga Maharani berasa teruja dengan gelaran yang diberikan oleh Tuanku kepada Ahli-Ahli Dewan bukan kerajaan dengan gelaran Pengimbang dan Pemeriksa bagi kerajaan menggantikan gelaran Pembangkang. Semoga dengan ini seluruh Ahli-Ahli Dewan terus bersatu padu menaikkan imej negeri Johor dan menjaga kebajikan rakyat negeri tanpa mengira fahaman politik dan ianya menjadi amalan budaya politik matang dan sejahtera. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al Maidah ayat yang kedua, (bacaan ayat al-Quran) yang bermaksud, ‘Bekerjasamalah dalam melaksanakan perkara kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara dosa dan bermusuh-musuhan.’
Maharani turut menzahirkan rasa simpati atas musibah yang menimpa rakyat negeri Johor kali ini dalam masa yang sama bermula sesi persekolahan tahun 2023 dan menjelangnya bulan mulia iaitu bulan Ramadan. Semoga rakyat negeri ini tabah membina kehidupan baharu pasca banjir dan Allah akan gantikan dengan perihal yang lebih baik. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Walaupun Maharani kali ini tidak ditimpa banjir tetapi Maharani mengambil maklum akan kenyataan Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz yang menyatakan tidak cukup petugas untuk menangani misi banjir kali ini. Alhamdulillah pertemuan saya bersama-sama dengan Agensi Khidmat Malaysia Pusat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Muar pada 14 Mac yang lalu menyebut akan hal ini dan kami sedia membantu sedaya upaya yang kami mampu serta melibatkan aset-aset yang ada. Ingin saya maklumkan melalui agensi Jabatan AMAL Malaysia yang turut sama terlibat dalam misi banjir kali ini terutamanya misi penyelamat dan pembersihan pasca banjir
di Sekijang, di Ledang, Pagoh, Parit Sulong, Batu Pahat dan beberapa daerah lagi serta Dapur Rakyat di Sri Medan dan juga di Sri Gading.
Yang terkini pada 19 hari bulan yang lalu, anggota-anggota kami dari Jabatan Amal Malaysia dari Muar dan Parit Sulong serta Melaka dan juga daripada Kelab Permotoran Ride (ARC) juga turut sama membantu misi pembersihan di Sri Medan. Beberapa buah rumah telah berjaya dibersihkan dan mendapat kerjasama daripada penduduk, alhamdulillah misi berjalan dengan baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani berharap agar pihak kerajaan sedia memberi bantuan secara langsung dan tidak langsung dengan tangan yang terbuka. Suka untuk saya ingatkan birokrasi antara jawatankuasa dan pemimpin masyarakat di setengah tempat terhadap agensi kami iaitu Agensi Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia untuk masuk ke tempat yang terjejas sangat amat dikesali. Tindakan ini menyebabkan bantuan tidak sampai kepada mangsa banjir walaupun kita sudah selesai melaporkan diri, usah kita politikkan isu banjir ini dan berilah laluan kepada agensi kami untuk membantu dengan baik. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 148, (bacaan ayat al-Quran) yang bermaksud, ‘maka berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian pada hari kiamat, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.’
Melihat kepada gejala banjir yang berlaku hampir setiap tahun ini, apakah jaminan kerajaan negeri dan pihak berwajib untuk mengatasi bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang terutamanya masalah banjir termenung apabila empangan dibuka tempiasnya kepada kawasan yang rendah sehingga hari ini masih ada kawasan terjejas dengan air termenung. Cadangan Maharani agar pimpinan setempat merangka sistem perparitan longkang di kawasan terjejas ini supaya air dapat keluar dengan baik terutamanya di kawasan-kawasan perumahan dan juga lorong-lorong.
Maharani juga mencadangkan untuk mengatasi masalah banjir kilat terutamanya yang berlaku di kawasan Maharani agar kerajaan atau pihak JPS dapat membersihkan parit-parit mengikut jadual yang ditentukan. Jangan menunggu setelah semak ataupun aduan baru diadakan pembersihan. Maharani juga ingin mencadangkan pemberian terus peruntukan iaitu One-Off kepada ADUN-ADUN yang terlibat dengan kawasan banjir supaya dapat memudahkan pemberian bantuan dan meringankan bebanan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut. Maharani mengharapkan agar bantuan segera yang disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas khususnya ibu bapa yang sedang menghadapi awal persekolahan dan bulan Ramadan. Di kesempatan ini juga Maharani mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua agensi-agensi kerajaan dan juga badan-badan NGO yang telah membantu mangsa-mangsa banjir di sepanjang melanda negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menyambut baik atas titah Tuanku yang menegaskan perihal tauliah Majlis Agama Islam Negeri Johor kepada penceramah-penceramah agama agar terjaga agama daripada penyelewengan dan tersimpang daripada syarak yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Terutamanya golongan anak-anak muda yang sentiasa mencari sesuatu yang baharu dalam keadaan kurang berilmu. Maharani mohon dipertimbangkan semula tindakan pemecatan jawatankuasa masjid dan surau bagi mengelakkan daripada ketiadaan ahli jawatankuasa untuk mengurus masjid dan surau. Sebaiknya bolehlah dinilai dahulu melalui guru ta’mir setempat mahupun pejabat kadi daerah. Disini juga maharani meminta agar birokrasi urusan bagi mendapatkan tauliah kepada penceramah-penceramah luar yang telah dikenal pasti akidah dan tauhidnya. Ilmu itu luas bidangnya dan ulamak itu bukan sahaja dari, dari dalam negeri bahkan ada dari luar negara seperti ulamak-ulamak antarabangsa yang kebetulan berkunjung ke bumi Malaysia sebaiknya kita boleh memanfaatkan ilmu, ilmu mereka kepada rakyat. Pesan Baginda Nabi Muhammad SAW. (bacaan ayat al-Quran) sampaikan lah dariku walaupun satu ayat.
Maharani mencadangkan agar proses pemberian tauliah sementara bagi penceramah luar yang masuk ke negeri Johor ini dipermudahkan. Ianya sangat penting bagi program penyebaran Syariah Islam untuk masyarakat negeri Johor dengan program-program ceramah agama di masjid, di surau dan juga di kawasan-kawasan luas seperti di stadium dan seumpamanya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga bersetuju akan titah Tuanku mengenai peningkatan mutu pendidikan di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi agar dapat melahirkan generasi mengenal Allah. Maharani mencadangkan agar Pendidikan Darjah Khas diperkasakan dan membolehkan pemegang sijil tersebut melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Selain daripada itu Maharani juga mohon guru-guru KAFA di negeri Johor dinaikkan gred dan diberikan pencen. Dengan usaha murni ini Maharani yakin pembangunan institusi pendidikan dan guru-guru akan melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan dan berkualiti di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kesempatan ini Maharani ingin membawa beberapa isu setempat yang dikemukakan di Dewan ini. Yang pertama, aduan daripada persatuan pemandu teksi dan kereta sewa sekitar bandar Maharani. Antara isu yang dibangkitkan ialah saingan moden platform e-hailing seperti Grab dan Lalamove, Maharani mencadangkan agar pihak kerajaan dapat membuat penambahbaikan sistem dengan mewujudkan aplikasi kereta sewa dan teksi-teksi negeri Johor dalam talian sebagaimana yang digunakan oleh aplikasi GrabCar, MyCar dan seumpamanya. Pihak persatuan juga memohon kepada pihak kerajaan agar diberikan bantuan subsidi seperti subsidi petrol dan subsidi tayar serta bantuan sara hidup bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka. Mereka juga menghadapi masalah pengurusan pinjaman bank untuk pembelian kereta-kereta baharu semoga ia mendapat perhatian daripada pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini.
Yang kedua, Maharani juga membawa rintihan para nelayan mengenai isu pukat tunda yang sentiasa mengganggu aktiviti para nelayan di sepanjang perairan daerah Muar. Walaupun berbagai-bagai-bagai tindakan telah dilakukan oleh pihak kerajaan, isu ini masih terus berlaku dan menjejaskan mata pencarian para nelayan. Diharapkan pihak kerajaan melalui agensi Maritim dan Polis Marin dapat menyelesaikan masalah ini dengan sewajarnya.
Yang ketiga, sekali lagi Maharani ini membangkitkan Projek Perumahan Islam Negeri Johor yang masih belum lagi dibina agar dapat disegerakan atas keperluan rakyat. Rumah-rumah kos rendah ini perlu diperbanyakkan memandangkan kos sara hidup sekarang ini terlalu rendah untuk membeli rumah yang bertaraf kayangan. Maharani mengharapkan agar pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah rumah yang terbengkalai di Parit Unas, Jalan Abdul Rahman kerana ia boleh dijadikan satu inisiatif bagi menyelesaikan masalah pemilik rumah terutamanya golongan B40 ke bawah.
Yang keempat, seterusnya bangunan Rest House iaitu Rumah Persinggahan Muar yang terbengkalai dan gelenggang tenis di kawasan Tanjung Ketapang yang terbiar dan tidak terurus agar dapat dibaik pulih dan dimajukan oleh pihak PBT untuk kegunaan pengunjung ke Bandar Maharani sebagai salah satu sumber pendapatan.
Yang kelima, kawasan jalan kampung yang berlaku mendapan terutamanya kawasan kampung yang telah mempunyai taman-taman perumahan seperti di sepanjang Parit Korma Jalan Abdul Rahman, Parit Raja, Parit Besar, Parit Unas, Parit Haji Ali, Parit Pinang Seribu dan seumpamanya. Diharapkan pihak kerajaan atau PBT dapat membina parit konkrit U menggantikan parit tanah untuk mengelakkan jalan mendap serta melebarkan jalan-jalan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata Maharani menyeru kepada seluruh Ahli-Ahli Dewan yang Mulia ini supaya bekerjasama tolong menolong dan bantu membantu serta berlaku adil serta terus beristiqomah berpandukan firman Allah, surah Al-Imran ayat 103, (bacaan ayat al-Quran). Yang bermaksud, yang bermaksud dan berpegang lah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai. Akhir kata, Maharani mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam semoga sentiasa dirahmati Allah dan sabar dalam menghadapi ujian. Dengan ini, Maharani menyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Sekian terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Dan sekarang saya jemput Yang Berhormat Sedili.
Bismillahirahmanirahim, (bacaan doa). Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan yang Mulia pada petang yang berbahagia ini. Assalammualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Simpang Waha, Bukit Waha dan Easter itu gugusan, Kampung Sentosa dan tanah putih itu legaran, giliran Sedili mengambil bahagian titah Tuanku Pembukaan Dewan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, yang memberi giliran kepada saya mengambil bahagian dalam bahas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir merupakan bencana yang kita tidak dapat halang dan elakkan. Banjir ini sering berlaku dalam kawasan DUN Sedili pada hujung bulan Januari yang lalu sebanyak 4 pusat pemindahan sementara telah dibuka di kawasan Sedili. Manakala hujung bulan Februari yang lalu 1 pusat pemindahan sementara juga telah dibuka semula di kawasan Sedili. Alhamdulillah, kita telah pun berjaya mengurus mangsa ini dari mula berpindah ke PPS sehinggalah pulang ke rumah masing-masing. Terima kasih kepada semua pihak, agensi yang terlibat dan orang awam dan bukan kerajaan dalam usaha dan kerjasama yang telah diberikan. Cumanya Datuk Speaker, banyak ruang tambah baik yang boleh kita lakukan contohnya, kita faham PPS ini menumpang bangunan sekolah tetapi khemah sering kali lambat dan tidak mencukupi. Berkaitan bekalan makanan pula, kita faham pihak JKM telah menambah baik sistem operasi dengan tidak membenarkan aktiviti masak memasak di kawasan PPS dan melantik pembekal untuk makanan siap bermasak. Tapinya bila berlaku keadaan sampai lambat, kualiti makanan yang sangat rendah, ada pula kes di tempat yang makanannya basi, kita nak tahu apakah pembetulan dan langkah pencegahan pihak JKM daripada perkara ini berulang pada masa yang akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili mengambil berat isu perumahan generasi, kalau kita lihat kita ada 3 kategori dan masalah berkaitan ini. Di tanah Rancangan FELDA dan FELCRA kita hadapi masalah pembinaan rumah. Yang kedua di Kawasan kampung tradisi pula kita hadapi masalah pemilikan tapak rumah. Dan ketiga di kawasan bandar dan pinggir bandar pula kita hadapi masalah kekurangan unit untuk rumah mampu milik. Saya pikir pihak berwajib perlu meneliti kategori ini dan memberi jalan keluar serta dimudahkan. Perkara ini adalah perkara asas yang saya pikir perlu untuk diberi perhatian pada masa ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor yang baru-baru ini telah menyambut baik cadangan pihak USIM, Universiti Sains Islam Malaysia untuk menubuhkan sebuah Hospital Universiti di dalam kawasan Sedili, tidak lupa juga kepada Yang Berhormat Datuk Menteri Pendidikan Tinggi Ahli Parlimen Kota Tinggi yang membawa perkara ini. Kita
sedar inisiatif ini adalah sangat baik bagi dasar pendidikan negara, lebih dari itu kami di Sedili menyambut baik dan bersedia dengan keperluan sokongan untuk projek ini dilaksanakan. Saya juga sering berpesan kepada anak-anak muda di Kota Tinggi dan Sedili khususnya agar bersedia dari sekarang untuk mengambil peluang daripada atas limpahan dan hiliran kesan inisiatif pihak kerajaan ini. Cumanya saya ingin menyeru agar pihak pelaksana dapat teliti dalam perancangan projek besar ini, ini kerana kesannya nanti apabila projek mega ini terlaksana, perumahan yang kan tumbuh perlulah dengan kadar yang tidak menekan. Bekalan air dan elektrik perlu dirancang sebaiknya agar bekalan untuk penduduk Sedili tidak terjejas. Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan Orang Asli di DUN Sedili ada sebuah kampung Orang Asli iaitu Kampung Pungai Pelangi, penempatan Kaum Kanak antara kaum yang tinggal dalam negara kita. Saban tahun masalah bekalan air dipotong kerana tidak ada pembayaran dilakukan kepada pihak SAJ. Apakah pihak JAKOA maklum perkara ini dan jika maklum apakah langkah pencegahan yang diambil untuk mengelak perkara ini berulang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh beberapa perkara lain antaranya yang pertama, pendawaian elektrik bagi sekolah-sekolah tidak kiralah sekolah rendah ataupun menengah perlu diberi peruntukan penyelenggaraan segera. Maklumlah Datuk Speaker, bila bangunan dah berpuluh tahun kita tidak mahu bila tidak ada penyelenggaraan terancang kita akan terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar nanti. Yang kedua, keperluan pesakit terlantar dirumah juga perlu diberikan perhatian, jika perlu kita tambah pengecualian cukai terhadap anak-anak yang berbelanja untuk orang tua mereka bolehlah dipertimbangkan. Disebabkan kos perubatan yang semakin meningkat sekarang. Isu binatang liar di kawasan saya ini, gajah je lah yang selalu menjadi topiknya yang sekian kalinya saya bangkitkan minta lah jabatan berkaitan memberikan penjelasan dan kemas kini SOP gerak kerja membenteras masalah dan juga isu ini kerana minggu lepas sekumpulan gajah masuk di dalam Kawasan FELCRA Sungai Ara hingga menyebabkan rasa ketakutan dan trauma penduduk di FELCRA tersebut selain kemusnahan tanaman penduduk. Isu gajah ini juga pernah saya bangkitkan dalam sidang DUN yang lalu, saya bangkitkan sekali lagi pada hari ini kerana ia melibatkan peneroka FELDA di Kawasan FELDA Lok Heng Barat yang mana sudah hampir 4 tahun tidak memiliki hasil dari lading mereka kerana langsung tidak mempunyai pokok sawit disebabkan serangan gajah ini. FELDA telah menghentikan bantuan RM1,000.00 kepada peneroka ini bermula Januari yang lalu. Setahun sahaja mereka mendapat bantuan daripada FELDA untuk membantu peneroka yang tidak ada pendapatan. Ini belum ditolak dengan hutang dan lazim peneroka. Dua hari lepas saya mendapat Whatsapp daripada salah seorang anak peneroka terbabit yang menunjukkan baki pendapatan ayah mereka sebanyak RM345.16. Bayangkanlah situasi mereka ketika ini. Diharap pihak kerajaan mahupun FELDA dapat segera membantu mengatasi masalah isu ini. Ada lot FELDA yang masih tidak berpeneroka supaya dapat diberi kepada peneroka ini 7 atau 8 ekar untuk menampung permasalahan ini.
Mereka ini terjejas kerana berdekatan dengan Empangan Seluyut, yang sebelum ini gajah-gajah ini berkeliaran di kawasan hutan yang ada di Empangan Seluyut. Tetapi disebabkan hutan ini dijadikan empangan, gajah kebetulan berada di situ dan akhirnya mereka yang berdekatan dengan empangan ini secara tak langsung memusnahkan tanaman yang telah disulam semula selepas 25 tahun, kelapa sawit ini ditebang dan dibuat semula.
Saya juga mengambil peluang ini dalam Dewan pada petang ini untuk merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi serta kakitangannya, ketua-ketua jabatan di peringkat negeri mahupun persekutuan, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat di DUN Sedili khususnya sudah 1 tahun saya menjadi Wakil Rakyat di DUN Sedili ini saya mendapat bantuan dan kerjasama yang baik di setiap isu-isu yang ada di kawasan saya. Moga Allah SWT merahmati dan memberkati usaha murni ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada
semua muslimin muslimat yang ada di dalam Dewan pada petang ini. Akhir kalam, saya amat berharap pihak kerajaan berikan keutamaan kepada Sedili dan mengambil serius langkah penambahbaikan. Sekian Sedili mohon mencadang.
Terima kasih Yang Berhormat Sedili. Sekarang dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selamat petang, salam sejahtera dan Maju Johor. Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzim patik ingin merafak sembah menjunjung kasih di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah berkenan berangkat dan merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 hari bulan Mac yang lepas. Berdasarkan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang lepas, saya ingin menyentuh dan membawakan beberapa usul berkaitan kepentingan masyarakat kawasan Pekan Nanas.
Yang Berhormat Datuk Speaker baru-baru ini negeri Johor dilanda dengan kejadian banjir yang terburuk dengan sejarah negeri ini. Kebanyakan daerah di Johor terjejas untuk sehingga memaksa ribuan rakyat untuk berpindah ke pusat penempatan sementara. Ahli-Ahli Yang Berhormat juga membangkitkan perkara yang sama sejak permulaan sesi perbahasan kali ini. Patik juga merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor di atas keprihatinan dan bantu yang dihulur kepada mangsa-mangsa yang terjejas di kawasan banjir yang terlibat.
Saya turut menghargai komitmen kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk membantu mangsa banjir dan menyelesaikan permasalahan banjir di negeri ini. Untuk maklum Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang mulia, Pekan Nanas juga terlibat sama dalam kejadian banjir baru-baru ini dengan hampir 300 mangsa terjejas dan harta benda musnah kerana ditengelam air. Walaupun jumlahnya taklah sebanyak mangsa di daerah Batu Pahat, Segamat dan lain-lain kawasan, namun sejarah banjir Pekan Nanas ini telah berlaku hampir 40 tahun di kawasan yang sama dan setiap tahun kejadian banjir sama berulang 3 hingga 4 kali.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam penyelesaian masalah banjir ini, saya difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor telah menyediakan satu pelan cadang menyelesaikan banjir jangka pendek dan jangka panjang di beberapa hot spot Pekan Nanas iaitu Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya, Kampung Sri Gambut dan Kampung Melayu Raya, Bukit Bachang. Cadangan ini meliputi kerja-kerja penyelenggaraan parit secara berkala, pembinaan pam flood gate, converter portable pam dan galian sungai yang menelan kos sebanyak RM125 juta. Ini merupakan satu jumlah yang besar. Untuk yang demikian, saya mohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk melihat dan membantu dalam perkara ini agar kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Saya juga sependapat dengan jiran saya, Yang Berhormat DUN Pulai Sebatang tentang keperluan satu peruntukan kecemasan diberikan kepada Pejabat Daerah agar pengurusan situasi banjir dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan efisien. Kita tidak boleh lagi hanya menunggu permohonan demi permohonan diluluskan baharulah peruntukan hendak disalurkan. Pada hemat saya Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah banjir tidak dapat diselesaikan dengan penyelesaian jangka pendek sahaja, dia memerlukan usaha dan rancangan mitigasi jangka panjang yang menyeluruh. Saya menyambut sangat baik cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menubuh Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir di negeri ini. Kita sudah ada pemetaan risiko banjir dan mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi. Oleh itu kita manfaatkan data-data tersebut
dan ambillah langkah mitigasi banjir yang terbaik supaya kita dapat meminimakan kesan banjir ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya ingin menyentuhkan tentang infrastruktur awam di kawasan saya Pekan Nanas. Pekan Nanas sekarang semakin membangun sebagai kawasan perindustrian, lebih-lebih lagi setelah pembukaan Jambatan Sungai Pulai meskipun dahulu merupakan kawasan luar bandar yang kurang perkembangan. Namun begitu, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sangat berdukacita melibat bahawa masih terdapat banyak fasiliti dan kemudahan awam yang tidak selenggara dengan baik seperti access kepada internet, jalan raya, dan lain-lain. Ini termasuklah fasiliti dan kemudahan kawasan luar bandar. Walaupun berada di kawasan luar bandar, kawasan kampung juga penting sebagai salah satu penyumbang kepada pendapatan sosioekonomi yang seimbang di Pekan Nanas.
Untuk maklum Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah menerima banyak permohonan bagi menaik taraf jalan-jalan kampung dan lampu jalan di kawasan luar bandar. Apabila saya usulkan kepada pihak berwajib, makluman yang sama diterima. Bajet tiada dan permohonan masih belum diluluskan. Inilah menyebabkan kawasan luar bandar sering terpinggir daripada pembangunan infrastruktur yang baik sehingga menyebabkan kepercayaan masyarakat kampung terhadap kebolehan kerajaan semakin terhakis. Oleh itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon pihak kerajaan untuk segerakan kerja-kerja naik taraf jalan-jalan kampung dan lampu-lampu jalan di kawasan luar bandar khususnya di Pekan Nanas.
Berkaitan dengan infrastruktur awam ini juga Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon agar pihak kerajaan negeri memperkuat sektor agro pelancongan di Pekan Nanas dengan melancarkan promosi yang sesuai. Kita ada Pusat Perkembangan Teknologi Pertanian Nanas (FTDC) di Pekan Nanas sebagai pusat untuk teknologi pertanian nanas dan menjadi pusat rujuk utama modul Pembangunan Industri Nanas Global. Sektor agro pelancongan di Pekan Nanas perlu dihidupkan semula untuk merancak ekonomi tempatan sekali gus dapat meningkat taraf hidup penduduk setempat. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyambut baik insentif kerajaan negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri Johor melalui pelbagai insentif seperti Majestic Johor. Namun, saya mohon langkah yang sama dilaksanakan untuk agro pelancongan Pekan Nanas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan sosio pendidikan, saya suka untuk sentuh tentang situasi semasa Pendidikan Khas di Pekan Nanas. Kerana saya perkenal Pendidikan Khas di Pekan Nanas dan paling penting ialah menubuhkan sebuah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) untuk memenuhi keperluan bilangan murid keperluan khas yang semakin meningkat di daerah saya dah memberi fokus untuk membangunkan potensi mereka dengan lebih baik.
Kelas Program Integrasi Pendidikan Khas di sekolah harian biasa di daerah Pontian mempunyai masalah dari segi kemudahan mesra OKU seperti parking OKU, lamp, lining dan tandas mesra OKU serta kelas yang tidak kondusif dan sempit. Ingin saya tegaskan di sini kemenjadian murid melalui pendidikan termasuk arus Pendidikan Khas tidak boleh diabaikan dalam usaha menjadi Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu juga Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon apalah kira bila kerajaan dapat meneliti dan menyemak semula elaun guru bertugas bagi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang mana pada kadar semasa RM1,200.00 sekarang. Ada amatlah tidak wajar lebih-lebih lagi dengan meningkat kos sara hidup pada ketika ini, tugas mereka amat mulia bagi mendidik dan mempersiapkan golongan kurang upaya untuk dunia sebenar di luar sana. Pengorbanan dan usaha gigih mereka dalam mendidik anak-anak keperluan khas ini juga harus diberikan penghargaan yang sewajarnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini juga saya ingin menyentuh tentang aktiviti sindiket penipuan atau scammer yang semakin meluas di dalam masyarakat kita. Sindiket ini bukanlah suatu yang baru, namun pastinya perkembangan teknologi dan Internet penipuan mencari lebih mudah dilakukan dan masyarakat semakin merasa bimbang akan masalah ini. Saya sendiri di pusat khidmat menerima pelbagai aduan mengenai sindiket penipuan yang melibatkan mangsa warga tempatan kita. Kerugian yang ditanggung bukan sikit Yang Berhormat Datuk Speaker, malah boleh mencecah ribuan dan puluhan ribuan ringgit. Penipuan dilakukan melalui pelbagai cara dari panggilan telefon, pesanan ringkas, whatsapp, atau aplikasi palsu yang direka untuk menipu pengguna. Contohnya ada satu penipuan palsu, penipuan loteri, penipuan pekerjaan, penipuan sewa rumah dan banyak lagi. Masalah ini tidak hanya merugikan aktiviti tetapi juga bahayakan keselamatan negara dan mengancamkan kestabilan ekonomi.
Oleh itu, kita perlu mengambil tindakan yang serius untuk mengatasi aktiviti penipuan ini. Saya sering dimaklumkan mangsa yang telah membuat laporan Polis tidak diambil tindakan sewajarnya terhadap sindiket penipuan. Sindiket hanya lapor di atas kertas sahaja tiada tindakan susulan untuk menggesa atau memberkas sindiket yang akhirnya sindiket yang sama melakukan penipuan yang lain. Saya mohon pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih tegas dan proaktif dalam menyiasat perkara ini. Lakukan siasatan yang lebih terperinci. Sindiket yang sama telah melakukan penipuan masih berleluasa di luar sana mencari mangsa baru. Saya tidak mahu lebih ramai lagi warganegara tempatan kita yang menjadi mangsa dalam sindiket penipuan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata sekali lagi patik sembah takzim Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas kesudian dan perkenan Tuanku merasmikan Pembukaan Rasmi Penggal Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Saya harapkan cadangan dan usul yang dibawa akan diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan. Dengan kesempatan ini juga saya ucapkan selamat menyambut bulan puasa kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan rakan-rakan Ahli yang Muslim serta Bangsa Johor. Sekian, itu sahaja perbahasan saya, terima kasih. Pekan Nanas mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Dan sekarang saya jemput Yang Berhormat Pemanis. Silakan.
Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, (Membaca Doa). Yang Berhormat Datuk Speaker , dan semua Ahli-Ahli Dewan yang saya muliakan sekalian, saya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Tuanku dan kerabat-kerabat Diraja sudi hadir dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan pada kali ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran bahawa bom jangka iklim sedang berdetik. Menurut beliau, kadar kenaikan suhu sepanjang setengah abad yang lalu adalah yang tertinggi dalam tempoh 2,000 tahun. Kepekatan karbon dioksida berada pada tahap tertinggi dalam sekurang-kurangnya 2 juta tahun. Pagi tadi juga dalam satu majlis pelepasan misi pasca banjir, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Kewangan agar menyegerakan peruntukan bantuan banjir berjumlah RM150 juta. Ini maklumat semasa yang saya kira boleh kita kongsikan dalam Dewan pada petang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, titah awal Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku pada minggu lepas menyentuh isu berkaitan dengan banjir. Malah, hampir semua perbahasan oleh rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat tak kira di sebelah kerajaan mahupun di pihak pengimbang memberikan fokus pada isu yang sama. Isu banjir menjadi tumpuan rakyat dan juga para pengamal media. Apatah lagi dalam daerah Segamat, daerah yang paling teruk sebenarnya pada peringkat awal kejadian banjir ini. Dan di DUN Pemanis sebenarnya 3 minggu sebelum kejadian banjir besar ini seolah-olah dah dapat amaran awal telah berlaku kejadian banjir yang turut menenggelamkan beberapa kawasan yang rendah. Dan acap kali hujan lebat kawasan-kawasan ini akan dilimpahi oleh air sungai. Cuma bila berlakunya limpahan air yang lebih besar, dia bermula daripada Chaah turun ke Tenang, Tenang sampai ke Pemanis, maka kawasan yang dulunya tak banjir kini tenggelam malah ada yang lebih teruk daripada kejadian tahun 2006 dahulu.
Di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Baginda meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada kerajaan pusat untuk memberikan peruntukan khas bagi membaik pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang musnah. Pemanis amat menyokong saranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini. Ramai di kalangan mereka yang terlibat dengan banjir kali ini kehilangan hampir 100% harta benda dan keperluan harian mereka. Walau pun sedikit, jika ada bantuan kewangan dapat diberikan kepada mereka pun dah memadai. Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, janganlah pula kerajaan persekutuan melambat-lambatkan sangat kelulusannya. Kalau dapat disegerakan bayarannya mungkin dalam bulan Mac ini walaupun dah tinggal tak beberapa hari, dapatlah mereka gunakan untuk bulan Ramadan dan mungkin Aidilfitri nanti. Saya harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita bolehlah berunding dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan agar dapat mengambil perhatian tentang perkara ini.
Dan di dalam jawapan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar apabila menjawab soalan lisan berkaitan dengan isu banjir pada Isnin yang lepas, dimaklumkan kerajaan ada memperuntukkan sejumlah bantuan kewangan bagi meringankan beban mangsa banjir. Cuma pada kebanyakan kes, tumpuan diberikan kepada keluarga yang tinggal di rumah kediaman sahaja. Saya tak pasti jika rumah kedai atau lot kawasan perniagaan juga dimasukkan dalam kategori yang sama. Jika tiada, Pemanis minta jasa baik pihak kerajaan untuk turut membantu para penjaja, peniaga-peniaga kecil dan usahawan-usahawan yang turut terjejas apabila peralatan perniagaan, kenderaan dan premis mereka turut musnah dan rosak teruk. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi saranan kepada instutusi kewangan agar memberikan moratorium kepada mereka yang terlibat dengan bencana banjir pada kali ini. Cuma, moratorium ini hanya memanjangkan tempoh pinjaman, jika dapat diberikan insentif, seperti pengurangan pinjaman melalui pemotongan BLR dan sebagainya. Saya kira, ini juga memadai bagi meringankan beban mereka yang terlibat kerana dia tidak memotong pinjaman pokok, tetapi memotong jumlah faedah BLR yang dikenakan oleh bank ataupun institusi kewangan kepada peminjam-peminjam.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berikut adalah beberapa cadangan daripada Pemanis berkenaan isu banjir kali ini. Cadangan yang pertama, selepas ini mana-mana kawasan yang memang kita kenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlakunya banjir, kerajaan negeri boleh memberikan cadangan kepada Kementerian Kewangan agar wakil mereka dapat berbincang dengan syarikat berkaitan dengan perlindungan insurans untuk memikirkan satu polisi baru berkaitan dengan banjir. Mungkin polisi ini kelak dapat memanfaatkan ramai pihak dengan memberikan perlindungan terutama berkaitan dengan kecederaan, kehilangan nyawa, dan kerosakan harta benda di dalam rumah. Ini kerana bukan semua daripada mereka yang terlibat dengan banjir ini berlaku kepada mereka setiap tahun. Ada yang tiga tahun sekali, ada yang lima tahun sekali malah ada yang sepuluh tahun sekali barulah berlakunya kejadian banjir besar di tempat mereka. Jadi kalau terkesan mereka boleh membuat tuntutan menerusi polisi sedia ada tanpa mengharapkan bantuan yang akan diberikan oleh pihak kerajaan.
Bagi cadangan kedua pula ialah mana-mana pembangunan melibatkan kawasan rendah dan berisiko banjir bolehlah disyaratkan kepada para pemaju pembangunan agar membina bangunan secara bertingkat dan kukuh agar lebih mudah dalam keadaan kecemasan banjir untuk mereka berpindah ke tingkat yang lebih tinggi berbanding berpindah ke kawasaan pusat penempatan sementara yang kita tahu selalunya sesak dengan mangsa banjir. Dan, sebaiknya pembangunan di kawasan yang diketahui sebagai kawasan tadahan air sepatutnya dielakkan walau pun nilai komersialnya tinggi demi mengelakkan permasalahan banjir pada masa depan.
Bagi cadangan ketiga pula, kita boleh melantik mana-mana individu atau daripada kumpulan tertentu di dalam kawasan kampung atau kawasan taman-taman yang kerap berlakunya banjir untuk hadir ke kursus menyelamat dan pengendalian bot fiber serta enjin agar mereka ini boleh membantu melakukan operasi menyelamat mangsa sementara menunggu pasukan penyelamat datang. Ini penting kerana jika mereka diberikan kemudahan bot dan enjin kelak, mereka dilihat boleh dan lebih memahami keadaan kawasan selok belok laluan yang betul berbanding pasukan penyelamat yang baru sahaja hadir untuk membantu. Ini penting bagi memastikan kejadian bot terbalik, dan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku pula kejadian yang akhirnya melibatkan kehilangan nyawa semasa proses menyelamatkan mangsa banjir.
Bagi cadangan keempat pula ialah sudah sampai masanya pihak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama dengan mana-mana institusi pendidikan IPTA terutamanya dan juga IPTS yang ada di negeri Johor ini untuk kembali semula membuat kajian tentang perubahan iklim, bentuk muka bumi, situasi semasa kejadian banjir yang dilihat semakin kerap berlaku di negeri Johor. Antaranya ialah kajian berkaitan dengan kaedah keberkesanan kawasan tebatan banjir sedia ada dan keperluan untuk pembinaan beberapa empangan baru di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir. Sistem berkaitan dengan hujan dan sungai serta aplikasi baru melalui telefon bimbit termasuk sistem amaran awal banjir mungkin dah perlu dikemaskini dan dinaik taraf.
Bagi cadangan kelima ialah untuk memastikan semua kawasan perparitan dan sungai di kawasan terlibat dengan banjir diberikan jadual berkala tahunan dan peruntukan khas baik daripada persekutuan mahupun di peringkat negeri. Inilah sebenarnya antara punca utama apabila parit dan saliran tidak diselenggara dengan baik, sungai tidak didalamkan. Jika ia dapat dilaksanakan dengan teratur, Pemanis yakin ia akan dapat mengurangkan keterlibatan lebih ramai lagi mangsa banjir di kawasan-kawasan yang berisiko.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semasa lawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke DUN Pemanis pada bulan November yang lepas, antara cadangan yang masih belum dapat dilaksanakan ialah memindahkan sebuat fasiliti Klinik Kesihatan Desa yang terlibat dengan banjir ke kawasan lebih tinggi. Cadangan tapak telah diserahkan kepada pihak kementerian, saya minta kerjasama daripada YB EXCO Kesihatan, agar dapat memantau dan memastikan peruntukan daripada kerajaan persekutuan kelak dapat disegerakan memandangkan acap kali berlakunya banjir, klinik tersebut pun akan banjir sama.
Dan satu lagi, yang dah lulus tapi masih belum mendapat sebarang peruntukan iaitu untuk menyiapkan Sekolah Agama Kampung Tengah. Pemanis minta perhatian daripada YB EXCO Agama agar dapat membantu menyegerakan pembinaan sekolah ini memandangkan sekolah kebangsaan yang menjadi sekolah tumpang mereka turut sama tenggelam pada kejadian banjir yang lepas. Dan jika dapat disiapkan kelak, sekolah agama ini adalah tempat yang akan menjadi PPS baru kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di Kampung Tengah tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selesai isu berkaitan dengan banjir. Di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Baginda turut menyentuh isu laluan Gemas ke Yong Peng. Laluan ini adalah termasuk dalam laluan utama FT001 di mana kerajaan persekutuan dan JKR menjadi agensi yang bertanggungjawab menjaganya. Laluan ini semasa tragedi banjir banyak yang tenggelam. Saya ingin bertanya kepada YB EXCO Kerja Raya untuk tahun ini adakah sebarang peruntukan daripada kerajaan pusat berkaitan pembaikan dan menaik taraf laluan ini memandangkan ia telah mendapat perhatian daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Walau pun isu penambahan lorong untuk dua kawasan lebuh raya utama telah diumumkan, namun laluan utama Gemas – Yong Peng ini juga sepatutnya tidak dipandang sepi untuk sama dinaik taraf. Bukan hanya rim kereta Duli Yang Maha Mulia Tuanku sahaja yang bengkok, malah di beberapa kawasan merbahaya ada di kalangan pengguna jalan raya yang kehilangan nyawa akibat kejadian kemalangan di sepanjang laluan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sering membawa isu berkaitan isu berkaitan pelaburan dalam negeri Johor terutama di kawasan DUN Pemanis. Untuk Persidangan kali ini, saya ingin mencadangkan pada YB EXCO Pelaburan dan YB Datuk EXCO Pertanian untuk melihat potensi membangunkan industri berkaitan dengan lembah tenusu di daerah Segamat terutamanya di DUN Pemanis. Dengan keluasan tanah yang dimiliki oleh kerajaan negeri, ada kawasan yang boleh kita cadangkan untuk dibangunkan industri tenusu ini. Sementelahan, di dalam ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di dalam Belanjawannya baharu-baharu ini beliau ada menyebut potensi sebuah syarikat berkaitan dengan tenusu negara iaitu Farm Fresh yang dilihat mampu membangunkan pelaburan berkaitan industri ini. Kita semua sedia maklum bahawa syarikat ini memulakan perniagaan mereka di negeri Johor, Pemanis ingin sarankan agar kerajaan negeri berbincang dan mengadakan kerjasama dengan pemain industri berkaitan tenusu ini untuk memastikan agar cadangan ini dapat dilaksanakan. Kalau Jemaluang telah isytihar sebagai salah satu kawasan pengeluaran susu bagi negeri Johor dengan kerjasama ECERDC, saya ingin mencadangkan kerjasama yang sama juga dilaksanakan di kawasan DUN Pemanis. Ini akan dapat membangunkan kawasan industri dan secara tidak langsung akan menambahkan lagi peluang pekerjaan pada penduduk setempat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis ingin menegur beberapa agensi kerajaan negeri yang dilihat masih gagal melaksanakan janji terutama melibatkan golongan asnaf dan B40 di daerah Segamat. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan dan Pembangunan Daerah, apabila dibentangkan tentang prestasi kemajuan kerja-kerja bina baharu tak banyak pun Datuk Speaker, 15 unit je kediaman dengan jumlah RM65,000.00 bagi sesebuah rumah serta urusan membaik pulih rumah-rumah asnaf ini, jawapannya belum dimulakan pembinaannya. Janjinya kerajaan nak laksanakan pembinaannya daripada awal tahun lepas lagi. Namun, sebuah rumah pun masih belum dapat dibina. Justeru, saya ingin bertanya kepada agensi pelaksana PKPJ di bawah peruntukan BPEN dan juga agensi di bawah KKDW, kenapalah perkara-perkara ni boleh berlaku? Adakah peruntukannya dah habis? Atau masih belum diterima? Atau terlalu fokus pada urusan lain sehingga ianya gagal untuk diselesaikan?
Jika tiada kemampuan, saya cadangkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu boleh disalurkan kepada mana-mana agensi ataupun kepada Pejabat Daerah untuk diselesaikan. Kerana nila setitik, rosaklah kita semua satu belanga. Kesian golongan asnaf ini, mereka tak tahu nak mengadu kepada siapa, rumah yang ada kini semakin uzur dan tidak selamat untuk didiami. Orang ramai bila buka Facebook tengok rumah nak runtuh asyik menyalahkan Wakil Rakyat, seolah-olah kami ni tutup mata dan tidak mempedulikan rakyat. Keluar dalam media sosial komen netizen asyik bahan pemimpin setempat. Jadi, Pemanis amat berharap pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh memantau tentang perkara ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata walaupun ini adalah ucapan perbahasan yang paling akhir, Pemanis minta jasa baik Yang Berhormat YB-YB EXCO-EXCO terutamanya yang ada pada petang ini agar dapat menjawab semua persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan berkaitan dengan perbahasan ini tadi. Almaklumlah Datuk Speaker dah hujung-hujung ni, saya ingat kalau yang lepas tu bila hujung tu tertinggal sahaja perkara-perkara yang nak dibawanya jadi harapnya semua perkara-perkara yang dibangkitkan tadi tu dapatlah dijawab oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga YB-YB EXCO yang ada pada hari ini. Dan Pemanis sekali lagi ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua Bangsa Johor. Terima kasih. sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh
Terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Ahli-Ahli Yang Berhormat selesai sudah Perbahasan atas rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Setinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah berjaya berbahas dengan baik membawa segala isu dengan sempurna dan mudah-mudahan apa yang dibangkitkan itu akan mendapat penjelasan, jawapan dan tindakan susulan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok, Rabu, 22 Mac 2023, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4.20 petang.