Johor · 22 March 2023

2nd session, 1st meeting · 48 turns · 21,163 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almahum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari esok, 23 Mac 2023, patik dan seluruh Ahli Dewan Negeri merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Semoga Allah SWT mengurniakan keafiatan untuk terus bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan negeri Johor Darul Ta’zim. Semoga negeri Johor Darul Ta’zim juga akan terus makmur, aman di bawah naungan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.

Apakah perancangan dan hasil pertemuan rombongan kerajaan Johor ke Singapura yang telah berlangsung pada Februari 2023?

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Stulang bertanyakan tentang apakah perbincangan dan hasil pertemuan rombongan kerajaan Johor ke Singapura yang telah berlangsung pada bulan Februari tahun ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, hubungan antara Johor dan Singapura sudah terjalin berabad lamanya. Insya-Allah dengan bantuan kerajaan persekutuan, hubungan Johor dengan Singapura akan terus kukuh dan akrab. Hubungan diplomatik yang akrab ini insya-Allah akan membawa limpahan ekonomi, perdagangan, pelaburan yang akhirnya menguntungkan rakyat daripada kedua-dua pihak khususnya Johor dan juga Singapura.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya bersama delegasi kerajaan negeri Johor telah mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 12 hingga 14 Februari tahun ini. Ia merupakan lawatan siri keempat saya secara rasmi ke Singapura. Dan lawatan itu turut dihadiri delegasi iaitu Pesuruhanjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Azfar, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi kerajaan negeri seperti BPEN, JETCO dan juga Invest Johor.

Ini merupakan satu manifestasi bahawa kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri adalah senada dalam mengeratkan lagi hubungan akrab antara kerajaan Malaysia dan juga Singapura.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dalam sesi lawatan tersebut telah berjumpa dengan 4 orang Menteri, 4 syarikat yang berhasrat untuk melabur di negeri Johor dan juga mengadakan sesi dialog bersama Singapore Manufacturing Federation ataupun SMF.

Semasa perjumpaan saya dengan Tuan Yang Terutama Dr. Vivian Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar dan juga Tuan Yang Terutama Dr. Maliki Osman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Ehwal Luar Kedua, dalam sesi perbincangan tersebut kerajaan Singapura telah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan juga Johor yang sentiasa membantu terutamanya semasa COVID-19 melanda. Dan pada masa ketika itu, Yang Berhormat Benut merupakan Menteri Besar di mana kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan telah memudahcarakan pergerakan bekalan makanan dan juga pharmaceutical untuk masuk ke Singapura.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Singapura yang telah memberikan kita bantuan dari segi vaksin-vaksin dan juga peralatan-peralatan perubatan untuk masuk ke Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Menteri yang kedua yang dapat kami bertemu ialah Puan Yang Terutama Ms Grace Fu iaitu Menteri Kemampanan dan Sekitaran. 4 agenda yang telah dibincangkan. Pertamanya ialah tentang carbon credit, keduanya dari segi food security, ketiganya dari segi pembersihan sungai dan keempatnya dari segi pelan mitigasi banjir.

Kita semua sedia maklum Yang Berhormat Speaker, disebabkan kedudukan geografi yang amat dekat di antara Johor dan Singapura, apa sahaja yang berlaku di Singapura dari segi alam sekitar dan sebagainya, dan apa sahaja yang berlaku di Johor pasti akan memberi kesan kepada kedua-dua belah pihak.

Jadi, pertamanya dari segi carbon credit. Mereka akan berkongsi dengan kerajaan negeri tentang framework pelaksanaan carbon credit yang dilaksanakan di Singapura. Dan ini insya-Allah akan memberi manfaat kepada negeri Johor dari segi macam mana kita nak membuat hala tuju kita dari segi carbon credit framework.

Keduanya dari segi keterjaminan makanan. Pada sesi lawatan ini Yang Berhormat Speaker, kita telah berjumpa juga dengan SFA ataupun Singapore Food Agency di mana kita bertukar-tukar pandangan tentang kaedah terbaik melihat kepada macam mana kita nak memastikan bahawa Johor juga boleh membantu jadi food basket, yang memastikan food security bukan sahaja untuk Johor, tetapi membantu Singapura. Mereka juga mempunyai teknologi dari segi modern farming, vertical farming. Dan itu juga ada persefahaman untuk kita bertukar-tukar ilmu dan juga teknologi.

Kita juga berbincang tentang pembersihan sungai dan juga pelan mitigasi banjir., seperti saya sebutkan tadi. Di Singapura, mereka telah berkongsi tentang program ABC. Program ABC bermaksud program air di mana A stands for Active, B, Beautiful dan juga C, Clean.

Untuk makluman Dewan, sama juga seperti Johor pada satu ketika dahulu, the Singapore river adalah antara sungai yang paling tercemar di Singapore. Tetapi berkat usaha, perancangan yang cukup rapi dalam hanya masa 10 tahun, mereka dapat membersihkan sungai itu sekali gus menjadikan kawasan tersebut antara pusat pelancongan untuk Singapura. Jadi perkara-perkara ini Yang Berhormat Stulang, mungkin kita boleh

bincangkan lagi dengan lebih terperinci Yang Berhormat Speaker dalam jawatankuasa yang bakal kita adakan.

Menteri yang seterusnya ialah Tuan Yang Terutama Encik S. Iswaran, Menteri Pengangkutan. Perkara yang kita semua setuju ialah tentang Rapid Transit System yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada bulan Januari 2027. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa di peringkat Kementerian MOT Malaysia dan juga Singapura perlu bekerja bertungkus-lumus agar perkara ini dapat dijayakan seperti yang dirancang.

Keduanya ada cadangan Yang Berhormat Speaker, di Johor sekarang ini kita ada 2 feri servis daripada Singapore ke Johor. Pertamanya Tanah Merah ke Desaru Coast dan keduanya daripada Tanah Merah ke Tanjung Belungkor. Kita mencadangkan supaya ada 3rd terminal ataupun feri servis daripada Puteri Harbour ke Tuas. Namun begitu, ini masih lagi dalam proses perancangan dan semestinya memerlukan kelulusan di peringkat MOT Malaysia sebelum ia dibawa ke MOT Singapura.

Yang Berhormat Speaker, semasa berjumpa dengan Minister. S. Iswaran, antara perkara yang kita juga lihat ialah tentang penggunaan kereta-kereta elektrik, bas elektrik dan sebagainya. Dalam sesi perbincangan saya dengan Minister, beliau telah berkongsi bahawa pada tahun 2030, mereka akan berhenti pendaftaran kereta-kereta petrol, so they will start buying electric cars ya, dengan izin. By the year 2040, tidak ada lagi kereta yang mengeluarkan emission carbon dan semuanya akan ke arah elektrik. Ini satu perkara yang Johor tidak boleh elak, bermaksud di Johor sudah ada perancangan untuk kita mengadakan usahasama dengan PBT-PBT dan saya bincang dengan Tan Sri SUK supaya ada satu mekanisme yang lebih teratur dan juga strategik melibatkan agensi yang mempunyai punca kuasa untuk meluluskan strategi kita untuk tahun-tahun mendatang.

Dalam sesi perjumpaan saya dengan pelabur-pelabur juga Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berjumpa dengan 4 syarikat. Pertamanya sebuah syarikat pusat data yang berskala besar, ini syarikat daripada Australia. Keduanya Wilhelmsen Group, sebuah syarikat maritim. Ketiganya, saya berjumpa dengan sebuah syarikat daripada China dalam jurusan petrokimia dan keempatnya, Syarikat Atkinson yang melihat kepada modern farming.

Sukacita saya maklumkan, jika semua pelaburan ini berjaya, ia akan melibatkan pelaburan lebih daripada RM10 hingga RM15 bilion, yang melibatkan ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa sebagai contoh Atkinson akan mengadakan sesi lawatan ke Johor pada bulan April ini yang modern farming tu dan akan melihat kepada tanah-tanah ataupun kawasan-kawasan yang sesuai untuk mereka melabur.

Dan akhirnya saya berjumpa dengan SMF (Singapore Manufacturing Federation) Yang Berhormat Speaker. Saya teruja dan gembira untuk melaporkan bahawa peserta-peserta ataupun federation-federation yang terlibat adalah seperti Singapore Business Federation, Singapore Chinese Chambers, Singapore National Employers Federation dan sebagainya. Semua menyuarakan hasrat untuk datang ke Johor untuk melabur kerana dari segi situasi apa nama kedudukan kita berjiran dengan kerajaan Singapura ini adalah satu advantage untuk negeri Johor.

Jadi Yang Berhormat Speaker, usaha berterusan akan dilaksanakan dengan negara jiran yang kita akrab ini dan kita akan terus mengadakan sesi-sesi dialog dua hala bersama mereka dalam masa-masa akan datang. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya sila Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Datuk Menteri Besar.

Datuk Speaker izinkan saya komen sedikit dulu sebelum menanya soalan. Berkaitan dengan hubungan simbiosis Malaysia Johor Singapura ini, memang kita tidak boleh lari daripada perihal pelaburan, sektor hartanah dan kelancaran trafik.

Sebelum saya tanya soalan mengenai sektor hartanah yang berkaitan dengan perihal pelaburan...

Speaker

Tanya soalan sahaja Yang Berhormat.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Hah... soalan sahaja? Oo saya komen sikit saja, komen sikit. Saya rasa ini penting kerana ketiga-tiganya sangat penting kerana artis Singapura, artis Singapura Wang Lei yang terkenal, dia datang ke Johor 14 jam tetapi 7 jam dia jammed jammed jammed dekat Tambak Johor. Saya rasa ini salah satu saya rasa kita perlu lagi untuk pertingkatkan usaha. Kerana saya dah tahu memang kita sudah ada usaha untuk memantau kesesakan tapi saya rasa masih ada lagi tempat untuk kita perbaiki dalam apa-apa jua bentuk ataupun jawatankuasa dan sebagainya untuk memantau, meneliti dan mencari punca kelancaran trafik di Tambak Johor, supaya usaha-usaha penarikan pelaburan kita ini tidak akan dikekang ataupun disia-siakan ataupun dilambatkan oleh kelancaran trafik di CIQ.

Jadi, soalan saya berkenaan dengan perihal pelaburan dan sebagainya adalah berkaitan dengan sektor hartanah. Kerana sektor hartanah juga perlu suntikan pelabur untuk rancakkan ekonomi. Jadi, kerana sudah ada usaha untuk menarik pelabur, saya rasa penting juga kita apa, adakan hartanah, EXPO Hartanah untuk orang asing atau Singapura untuk membeli hartanah kita yang banyak belum dijual terutama yang mewah-mewah, yang lebih daripada RM1 juta. Maksudnya, cadangan saya adalah boleh tak kita kumpulkan semua pemaju, sama ada pemaju berikan diskaun kepada orang asing ataupun dipakejkan dengan industri sampingan yang lain seperti hotel, kelab, keahlian, destinasi pelancongan, shopping dan sebagainya? Jadi, ini akan memberikan limpahan kepada sektor lain...

Speaker

Soalan Yang Berhormat.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Ok, selain memberikan impak, selain mereka boleh membeli, sektor...

Speaker

Yang Berhormat, soalan?

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Soalannya adalah, adakah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengadakan sektor, mengadakan EXPO Hartanah untuk orang asing dan Singapura, supaya mereka boleh membeli hartanah di mana, di mana ia dipakejkan dengan industri-industri sampingan yang lain untuk mereka membeli dan compliment kepada usaha penarikan pelaburan tersebut. Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Ketua Pengimbang, atas soalan tambahan tersebut. Dari segi isu yang dibangkitkan, pertamanya, dari segi congestion yang berlaku di CIQ. Kita semua sedia maklum bahawa perkara ini, perkara yang bukan baru ya. Ia berlaku semenjak berabad-abad lagi ataupun berdekad-dekad lamanya. Tetapi itu tidak mematahkah semangat kerajaan negeri dan juga persekutuan untuk bekerjasama memastikan bahawa perkara ini dapat dilangsaikan secepat mungkin.

Saya nak berkongsi dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai contoh, semasa lawatan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, saya percaya YB Stulang pun ada masa itu dan beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat, di mana pada 21 Januari, kerajaan telah memutuskan untuk memperluaskan penggunaan E-Gate pejalan kaki, bukan sahaja untuk warganegara Malaysia tetapi juga untuk warga negara Singapura. Jadi, Auto Gate itu, sekarang ini, bukan untuk orang Malaysia sahaja, orang Singapura pun dah mula boleh pakai.

Keduanya, sukacita saya nak maklumkan, bahawa sudah ada persetujuan di peringkat persekutuan untuk menambah MBIKE punya lane, kalau dulu kita hanya ada disediakan 20, dia akan tambah lagi 18 untuk masuk dan juga ke Singapura dan juga untuk masuk ke Johor. Jadi, penambahan MBIKE Lane ni pihak Imigresen sedang membuat, tengah memperhalusi supaya perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Dari segi penggabungan kaunter juga, Yang Berhormat Speaker, terutamanya di Tambak Johor kita sedang menyiapkan 4 zon dari segi penggabungan kaunter, sekarang ini kereta terpaksa berhenti dua kali untuk clear passport dan juga Touch N Go. Selepas ini Yang Berhormat Speaker, mereka akan berhenti sekali dan semuanya sekali harung diselesaikan. So, itu antara perkara-perkara yang sedang dibuat oleh kerajaan persekutuan. Saya mohon maaf dari segi faktanya untuk MBIKE 50, 50 sedia ditambah lagi 25. Sama juga untuk masuk ke Johor sekarang ni ada 50, dia akan tambah lagi 25.

Dari segi hartanah Yang Berhormat Speaker, saya tertarik dengan apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat Stulang, untuk mengadakan sesi, untuk buat EXPO Perumahan ye, di peringkat kita, bagi menyelesaikan dan membantu menjual property-property yang diklasifikasi sebagai property overhanged.

Yang Berhormat Speaker, saya juga teringat ucapan penggulungan ataupun perbahasan Yang Berhormat Stulang awal minggu tentang inisiatif-inisiatif seperti MM2H yang perlu lebih menarik supaya orang dapat membeli hartanah kita. Jadi, saya sebenarnya pun dah bercakap dengan Yang Berhormat EXCO, untuk mengadakan program EXPO ini, supaya kita dapat mempakejkan segala hartanah yang ada di Johor dan sama-sama kita bekerjasama dengan kerajaan persekutuan kerana MM2H ini adalah dasarnya dari kerajaan persekutuan. Kita di peringkat negeri tidak boleh imposed apa yang, apa nama, dikeluarkan dasarlah di peringkat persekutuan tetapi ini kita perlukan bantuan daripada pihak Pengimbang untuk sama-sama kita mempengaruhi ataupun bercakap dengan Menteri Dalam Negeri di peringkat Putrajaya, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman, pada hari ini, kita akan mendengar penggulungan daripada Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa, masa yang diberikan ialah selama 15 minit seorang dan saya mohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan itu disambung sekarang. Dijemput Yang Berhormat, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam Sesi

Penggulungan Perbahasan di Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Di kesempatan ini, patik ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Yang Kedua Bagi Dewan Undangan Negeri Johor Untuk Penggal Ke-15 pada 16 Mac 2023 yang lalu.

Segala titah, nasihat dan ingatan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa patik semat dalam ingatan sepanjang menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor. Dalam masa yang sama, patik merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada esok jatuh 23 Mac 2023.

Buah berangan di rumpun pisang, sayang merbah di pohon cemara, Ahli Dewan selamat bersidang, giliran saya pemula berbicara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh kepada Belanjawan Malaysia 2023, yang dibentang oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada tempoh hari, saya mengucapkan terima kasih di atas peruntukan bajet ke kerajaan negeri Johor terutamanya melibatkan Portfolio saya. Rancangan Tebatan Banjir seluruh negara yang akan ditender dan dilaksanakan pada tahun ini termasuk Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor. Saya juga menyambut baik projek penambah baik kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai – Desaru Expressway dan projek naik taraf Lebuh raya Utara - Selatan di Senai Utara, Sedenak, Johor Bahru dari 4 hingga kepada 6 lorong. Pelaksanaan projek-projek ini akan merancakkan lagi pendapatan kerajaan negeri dalam sektor pelancongan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir Johor baru-baru ini merupakan pengalaman yang paling pahit buat Bangsa Johor. Di mana lebih daripada 85,000 rakyat Johor yang terkesan dan kerugian berjuta ringgit. Walaupun hujan telah berhenti, air masih, air banjir masih bertakung di kebanyakan kawasan. Kerajaan negeri telah mengambil langkah bagi mengepam keluar air banjir yang bertakung. Sehingga 21 Mac 2023, penempatan 69 unit pam bergerak di 7 daerah yang terkesan telah dilaksanakan dan paling banyak di daerah Batu Pahat iaitu 49 unit.

Saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada JPS luar daripada Johor yang turut membantu dalam usaha pam air banjir dari JPS Malaysia, JPS Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia.

Sejak berlakunya bencana banjir pada Januari yang lalu, saya amat serius terhadap isu ini, dalam masa yang sama, saya sendiri telah turun ke hampir ke semua Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah bagi membentangkan kerja-kerja yang akan dijalankan pada tahun ini kepada ADUN-ADUN kerajaan dan juga Pengimbang kerajaan. Tambahan pula, saya juga dapat memahami secara mendalam isu-isu kawasan yang sering dihadapi oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Dalam sesi Sidang kali ini, isu banjir dan projek tebatan banjir merupakan topik yang paling ketara yang telah dibangkitkan oleh rata-rata semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini. Kerajaan persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia sedang merangka langkah jangka pendek, temporary works, sebagai persediaan

menghadapi kemungkinan bencana banjir sementara menunggu projek tebatan banjir siap sepenuhnya.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM42 juta bagi kerja penyenggaraan infrastruktur JPS seperti sungai, parit, pembentung, pintu air, pantai dan jalan ladang. Selain itu, kerajaan persekutuan juga telah memperuntukkan dana bagi fasa pertama kerja-kerja untuk mengurangkan risiko banjir di lokasi yang telah dikenal pasti melibatkan 10 daerah di negeri Johor. Manakala, projek Rancangan Tebatan Banjir, RTB yang akan dilaksanakan ialah:-

1. Projek mengatasi banjir di Kampung Sungai Kapal Lama, Kota Tinggi. 2. Projek Rancangan Tebatan Banjir di Kampung Sepang Loi, Segamat. 3. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batu Pahat. 4. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batu Pahat, Seri Medan, Johor. 5. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pemandi, Kota Tinggi. 6. Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kesang. 7. Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Johor, Fasa 1, Kota Tinggi, Johor.

Kesemua projek ini dijangka siap antara 3 hingga 5 tahun. Pelaksanaan projek bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir melibatkan menaik taraf 140 stesen hidrologi dan membina baru stesen hidrologi di 107 lagi kawasan lokasi di seluruh negeri Johor untuk meramal kejadian banjir 7 hari lebih awal dan mengeluarkan amaran banjir 2 hari sebelum hari kejadian kepada pihak NADMA untuk disebar-sebarkan kepada kawasan terlibat dan kepada agensi lain seperti Polis, JPAM, BOMBA dan lain-lain bagi tujuan kesiapsiagaan operasi. Projek ini sedang dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2024.

Menjawab kepada persoalan yang dibangkit oleh YB Bentayan mengenai projek pemulihan Sungai Muar dan Projek Saliran Mesra Alam Bandar Maharani di bawah RMKe-12. Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah mengemukakan permohonan bagi kedua-dua projek ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Bagi Projek Saliran Mesra Alam Bandar Maharani, kerajaan akan melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PRISMA) Bandar Maharani, Muar Johor terlebih dahulu. Status terkini bagi kedua-dua projek di bawah Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, adalah masih lagi di peringkat pembentangan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan masih belum diluluskan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan kedua-dua projek ini adalah bergantung kepada kelulusan yang diterima untuk projek RMKe-12 yang akan datang.

Menjawab kepada soalan daripada Yang Berhormat Seri Medan, yang mencadangkan agar dibina satu empangan di Seri Medan. Pihak JPS telah pun melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca dan cadangan penyelesaian bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan Seri Medan, antaranya termasuklah cadangan membina kolam takungan banjir. Namun, ia bukanlah penyelesaian yang terbaik berdasarkan kriteria, implikasi kewangan dan volume of flood reduction.

Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Penggaram, Johor Jaya yang menyentuh mengenai pelepasan air empangan. Untuk makluman, Jabatan Pengairan dan Saliran mempunyai 4 buah empangan di bawah seliaan jabatan iaitu Empangan Bekok, Empangan Sembrong, Empangan Machap dan Empangan Labong. Pihak JPS mempunyai Manual Operation dan Maintenance, bagi setiap empangan. Prosedur sebelum pelepasan air empangan telah diperincikan di dalam Manual OM tersebut. Pelepasan air empangan telah dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aras empangan adalah berada 20% di bawah paras normal, di mana pelepasan ini dibuat secara berperingkat bermula sebelum Monsun Timur Laut yang bermula pada 1 Oktober 2022.

Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran sentiasa komited dalam memberikan maklumat awal kepada penduduk setempat bagi bersiap siaga dari apa juga kemungkinan banjir yang akan berlaku. Taklimat Table Talk telah diadakan pada 7 dan 8 November 2022 kepada agensi-agensi yang terlibat dengan bencana serta ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat setempat di bahagian hilir empangan yang mempunyai potensi dilanda banjir bagi penerangan SOP pelepasan air empangan dan kesan sekiranya empangan melimpah dan mengalami kegagalan bagi Empangan Bekok dan Sembrong.

Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat masih ingin dapat penjelasan secara terperinci saya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran akan mengaturkan satu lawatan tapak bagi kita sama-sama melihat dengan lebih dekat SOP pelepasan air Empangan Bekok dan Sembrong dalam masa terdekat. Pihak jabatan akan memaklumkan kepada pusat kawalan operasi bencana daerah sekiranya operator empangan mendapati tahap kecemasan mencapai aras yang telah tertulis tahap 2 di dalam pelan tindakan kecemasan.

Selain itu, siren amaran juga dibunyikan iaitu pada 3 fasa. Siren fasa 1 dan fasa 2 akan diaktifkan apabila aras air empangan berada di aras amaran dan fasa 3 akan diaktifkan apabila aras air empangan berada di paras bahaya. Siren amaran ini berupaya menjangkau 1 hingga 2 kilometer radius bergantung pada keadaan topografi setempat.

Bagi isu fenomena air pasang besar, projek fenomena air pasang besar yang melibatkan daerah Pontian dan Batu Pahat telah pun selesai melalui proses Makmal Kejuruteraan Nilai (VE) yang telah pun dilaksanakan pada 6 hingga 10 Mac 2023.

Untuk kawasan Batu Pahat, Pontian melibatkan panjang ban pantai 35 kilometer di Batu Pahat dan 10 kilometer di Pontian. Status terkini adalah di peringkat kerja ukur tapak sedang dijalankan, dilaksanakan untuk memuktamadkan rekabentuk terperinci yang akan ditender pada tahun 2024.

Untuk kawasan pertanian Johor Barat di daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar, kerajaan negeri telah melaksanakan kajian semula Projek Johor Barat dan kini di peringkat akhir, dimana elemen perubahan iklim juga telah diambil kira di dalam menyediakan cadangan-cadangan spesifikasi banjir termasuk banjir termenung. Antaranya termasuklah mengenalpasti keperluan flood gate untuk air ke ban serta sistem saliran sedia ada yang masih boleh berfungsi dengan baik atau perlu dinaiktaraf.

Yang Berhormat Senggarang mencadangkan satu kajian semula pintu-pintu air di kawasan panas, di hotspot berlakunya banjir segera dilakukan. Untuk makluman Yang Berhormat Senggaran JPS akan menaiktaraf satu rumah pam di pintu air Kuala Senggarang dan dijangka ditender pada Mei 2023.

Yang Berhormat Panti pula ada membangkitkan isu berkaitan pencemaran yang kerap berlaku di kawasan Tenggara berikutan sebuah kilang yang mengeluarkan racun menyebabkan banyak menimbulkan rasa tidak senang kepada penduduk. Pencemaran bau di kawasan bandar Tenggara yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Panti adalah dipercayai berpunca daripada sebuah premis yang menjalankan aktiviti menyimpan cecair baja. Bau yang diadu dikenal pasti berpunca daripada penyimpanan cecair baja dan tumpahan daripada bekas penyimpanan yang menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar. Kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah mengarahkan premis untuk membersihkan dan melupuskan kesemua cecair baja tersebut. Pada masa ini premis telah dikosongkan oleh pemilik.

Yang Berhormat Datuk Speaker saya menyambut baik ulasan daripada Yang Berhormat Perling bahawa isu banjir tidak dapat diselesaikan hanya melalui pendekatan kejuruteraan atau engineering solution kerana melibatkan kos dan bajet yang tinggi. Lebih-lebih lagi

berlaku di kawasan yang sudah ada pembangunan. Oleh itu saya menyarankan agar pihak PBT, segala perancangan pembangunan baru yang akan dijalankan untuk masa yang akan datang harus dikaji kapasiti aliran air di lokasi tersebut supaya isu air aliran air dan isu bertakung dapat diurus terlebih dahulu. Saya akan bekerjasama dengan YB EXCO Kerajaan Tempatan secara rapat bagi merangka garis panduan dan ketetapan yang sesuai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 202,2 bagi sektor pelancongan negeri Johor telah menerima sebanyak 3 anugerah iaitu Gold Award Tourism App bagi aplikasi Johor Tourism Interchange, Gold Award Attractive State Tourism Event bagi Majestic Johor Festival 2022 dan ketiga ialah Taman Negara Endau – Rompin telah mendapat pengiktirafan sebagai Asean Heritage Park yang ke 51.

Pada 16 Januari 2023 Tourism Johor telah melancarkan kalendar acara Majestic Johor 2023 yang memberi fokus kepada 8 acara utama dan berbagai acara lain yang bersifat antarabangsa dan domestik dengan menyasarkan pengunjung melebihi 1 juta orang ke acara-acara ini. Acara-acara Majestic Johor ini juga akan dibagikan kepada lokasi berasingan bertujuan bagi memastikan limpahan ekonomi tersebut dapat dibahagin sama rata kepada penduduk setempat tempatan, yang secara proaktif mengambil bahagian di dalam sektor pelancongan.

Dalam masa yang sama kerajaan negeri juga telah melancarkan Pelan Perancangan Strategik Pelancongan Johor 2023 – 2027. Pelan ini akan menjadi panduan kepada pelaksanaan serta pemantauan bagi perancangan pelancongan yang telah ditetapkan. Saya mengharapkan sokongan semua pihak agar semua projek dan program yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak besar kepada Tourism Johor serta Bangsa Johor khasnya.

Selain itu di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuah terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh industri pelancongan Johor di atas pelbagai usaha untuk mengerakkan industri ini. Tidak dilupakan juga kepada jabatan-jabatan kerajaan serta pelbagai agensi lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan menepati objektif yang ditetapkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dapati Sidang kali ini beberapa Ahli-Ahli Berhormat ada memberi cadangan bagi mempergiatkan sektor pelancongan di kawasan masing-masing. Yang Berhormat Stulang mencadangkan syarat Malaysia My Second Home (MM2H) perlu dikaji semula dengan syarat kewangan yang lebih rendah. Yang Berhormat Datuk Speaker saya bersama Tourism Johor telah membangkitkan isu ini kepada Yang Berhormat Menteri Pelancongan Malaysia dan juga Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia pada 20 Disember 2020 yang lepas dan perkara tersebut telah dalam tindakan kerajaan persekutuan.

Untuk makluman Yang Berhormat Stulang perkara berkaitan Imigresen ini adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan usaha kerajaan negeri dalam mengemukakan permohonan telah dilaksanakan namun ia terpulang kepada kerajaan untuk memberi kelulusan atau kelonggaran. Yang Berhormat Johor Jaya menanyakan apakah status terkini bagi pengkopratan, corporatization dengan izin Tourism....

Speaker

Yang Berhormat tinggal 1 minit

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Untuk maklumat Yang Berhormat Johor Jaya, kerajaan negeri sedang memperhalusi cadangan untuk menjadikan Tourism Johor sebagai sebuah badan korporat khususnya perkara-perkara yang berkaitan dengan menentukan hala tuju, fungsi, peranan sruktur jawatan-jawatan pengambilan kakitangan pengajian dan peruntukan. Kerajaan juga masih

lagi mengkaji cadangan ini bagi memastikan ianya menepati cadangan dan objektif awal penubuhan Jabatan Pelancongan Negeri Johor. Walau bagaimanapun, Tourism Johor telah menyediakan kertas kerja di peringkat akhir dan dalam peringkat penilaian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, secara kesimpulannya daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah saya uraikan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada sesi sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua. Segala cadangan, buah fikiran yang dilontarkan kepada saya sangat saya hargai dan alu-alukan. Dan sekiranya masih ada idea-idea baru selepas berakhirnya Sidang kali ini datanglah berjumpa dengan saya.

Saya pasti saya akan lapangkan masa. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan saya. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Akhirnya di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam khususnya Bangsa Johor. Lebat kemiri pohonnya rendah, dahan terikat tali perkasa, ucapan saya sampai kepenyudah, selamat menjalankan ibadah puasa. Sekian terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh. Sekarang dijemput Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Mudik ke muara mencara tinta, singgah di teluk sambil berangan, Assalamualaikum pembuka Kata, EXCO sembah ucapan penggulungan. yang Berhormat Datuk Speaker dan seluruh Ahli Dewan yang mulia, awal bicara merakamkan rasa setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT kerana sekali lagi diberikan kesempatan dan peluang bersama Yang Berhormat EXCO-EXCO kerajaan negeri Johor yang lain, bagi menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Keduanya, patik juga ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan junjung setinggi-tinggi kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku hadir dan seterusnya bertitah merasmikan Penggal Kedua Persidangan Dewan Negeri Johor yang mulia ini pada Khamis yang lalu. Dalam masa yang sama patik merafak sembah dan ucap setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada esok hari pada 23 Mac 2023.

Patik juga ingin merakamkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor dan kerabat-kerabat Diraja yang berkenan hadir ke dalam Majlis Persidangan. Patik mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor serta seluruh kerabat DIraja Johor dikurniakan keafiatan serta berpanjangan untuk terus menaungi negeri Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga saya ingin menzahirkan rasa simpati, sedih dan berdukacita kepada mangsa-mangsa dan keluarga yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negeri Johor. Bahkan sehingga kini masih terdapat mangsa-mangsa khususnya di Batu Pahat yang di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara ataupun (PPS) di saat umat Islam sedang membuat persiapan menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.

Walaupun saya sendiri bukan mangsa, sebagaimana yang dinyatakan Sri Medan tempoh hari dalam ucapan perbahasannya namun Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan saya selaku EXCO yang bertanggungjawab menggerakkan sukarelawan Southern Volunteers yang diarahkan oleh Yang Amat Berhormat supaya menggerakkan secepat yang mungkin untuk membantu mangsa-mangsa di setiap daerah. Saya sedikit sebanyak merasai dalam mendalami perasaan mangsa-mangsa banjir apabila melawat banyak PPS di daerah Muar, Segamat, Kluang, Kota Tinggi termasuk juga Batu Pahat.

Insya-Allah saya bertekad akan terus memastikan Southern Volunteers digerakkan ke seluruh pelosok negeri Johor bagi membantu keluarga-keluarga yang terkesan khususnya dalam pasca banjir yang amat memerlukan tenaga dan kudrat membersihkan rumah yang ditenggelami air.

Yang Berhormat Datuk Speaker menerusi persidangan kali ini selain isu-isu banjir yang banyak diperkatakan Ahli-Ahli Dewan yang menyertai perbahasan, terdapat juga berbagai maklumbalas yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahu pun teguran yang dilontarkan kepada pihak pengimbang kerajaan mahu pun rakan-rakan saya pihak kerajaan dan semuanya telah saya ambil maklum.

Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Bukit Gambir, Puteri Wangsa, Tanjung Surat, Sri Medan, Bukit Naning, Kahang dan Jementah yang bertanya, memberi cadangan serta sokongan terhadap isu atau perkara yang berkaitan dengan portfolio-portfolio di bawah tanggungjawab saya. Selain itu saya juga telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan dan setiap maklum balas yang diberikan saya menerima dengan berlapang dada dan sukacitanya saya menjawab soalan-soalan berbangkit ini pada sesi penggulungan pagi ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Jementah, ingin tahu apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah kesuntukan wang ataupun masalah pengangguran dalam kalangan remaja terutamanya di kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung. Untuk makluman Yang Berhormat Jementah dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSIM) jumlah penganggur di Malaysia pada suku keempat 2022 adalah seramai 600,500 orang iaitu pada kadar 3.6 % jumlah penganggur.

Manakala kadar pengangguran pada suku keempat di negeri Johor adalah 2.4%. Berdasarkan laporan Sistem Insuran Pekerjaan, (SIP), Perkeso pula bilangan pekerja yang kehilangan pekerjaan dari tempoh Januari 2023 hingga 3 Mac 2023 adalah seramai 7,736 orang. Daripada jumlah tersebut seramai 202 orang golongan muda yang berumur antara 15 hingga 30 tahun telah kehilangan pekerjaan di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO terus mempergiatkan usaha-usaha bagi merancakkan pasaran buruh menerusi pelbagai inisiatif bagi menangani masalah pengangguran termasuklah dalam kalangan remaja di kawasan pinggir bandar dan kampung. Antaranya di bawah Bajet 2023, PERKESO telah diberikan peranan untuk melaksanakan 5 inisiatif program iaitu Program Pasaran Buruh Aktif sebagaimana jawapan lisan bersekali yang sudah saya nyatakan ketika menjawab persoalan daripada Yang Berhormat Benut dan Yang Berhormat Panti pada Ahad yang lalu.

Selain itu, untuk maklumat Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Kementerian menerusi PERKESO telah menyediakan platform pencarian pekerjaan dalam portal MyFuture Job, dengan izin, dalam usaha menangani pengangguran termasuk golongan remaja. MyFuture Job merupakan portal berteknologi tinggi dan terkini bagi membuat padanan pekerjaan (job matching) dengan izin berdasarkan dengan kemahiran, pengalaman, gaji dan lain-lain

mengikut keperluan-keperluan majikan. Platform ini dimanfaatkan oleh setiap pencari kerja termasuk anak muda kerana ia merupakan langkah awal untuk golongan ini berada dalam pasaran kerja sekali gus membantu keboleh pasaran dalam kalangan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, PERKESO turut menjalinkan kerjasama, kerjasama strategik dengan beberapa agensi di kementerian dengan penubuhan pusat satelit MyFuture Job. Penubuhan pusat satelit ini adalah bertujuan untuk membantu golongan mencari kerja yang berada di kawasan pinggir bandar dan kampung khususnya bagi mendapatkan perkhidmatan penempatan pekerjaan. Pusat ini turut berfungsi untuk memudahkan dan membantu masyarakat luar bandar mendapatkan perkhidmatan seperti penggunaan komputer capaian internet yang lebih stabil dan tepat serta selesa. Sehingga kini, untuk makluman, terdapat 21 buah pusat satelit MyFuture Job di negeri Johor. Seperti di Pusat Komuniti Desa Tanjung Sedili, PKD Air Merah, PKD Melayu Nyior dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Semangar Dalam. Jumlah ini juga termasuk 16 buah pusat pengajian di bawah Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Politeknik dan Kolej Komuniti yang telah dijadikan pusat satelit MyFuture Job. Antaranya ialah Politeknik Sultan Ibrahim, Politeknik Mersing, Johor; Kolej Komuniti Ledang dan Kolej Komuniti Muar.

Untuk makluman Yang Berhormat, PERKESO secara berterusan mempergiatkan karnival di seluruh negara sebagai galakan kepada pencari-pencari kerja dengan secara tidak langsung turut membantu memberangsangkan pasaran buruh negara. Berdasarkan laporan sistem insurans pekerja, PERKESO, SIP pada tahun 2022 sehingga 19 Mac 2023, PERKESO Negeri Johor telah melaksanakan sebanyak 31 kali program karnival kerjaya yang melibatkan seramai 6,048 orang pencari kerja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Puteri Wangsa dan Tanjung Surat dalam perbahasannya ada memberikan cadangan berkaitan usaha memperkasakan TVET. Antaranya supaya semua institusi TVET dalam negeri ini bertapak di negeri Johor diberikan ruang autonomi iaitu bekerjasama semua industri-industri yang melabur di Johor supaya pembelajaran murid tertumpu kepada bidang berkaitan di dalam industri negeri ini.

Bagi soalan, menjawab soalan Yang Berhormat Kahang juga turut membangkitkan kebimbangan beliau mengenai keperluan anak-anak muda Johor diberikan latihan setimpal dan secukupnya berdasarkan apa yang diharapkan oleh pelabur. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa, Tanjung Surat dan Kahang atas cadangan dan pandangan yang dikemukakan berkaitan TVET dan latihan kemahiran.

Untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan yang mulia, kerajaan negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor mengambil maklum tentang peranan TVET dalam melahirkan tenaga buruh yang kompeten bagi memajukan dan memacukan ekonomi di negeri Johor. Antara inisiatif adalah melalui penganjuran program Karnival TVET yang bakal dijalankan pada Julai 2023 nanti. Objektif karnival ini adalah untuk memperkenalkan pembelajaran TVET kepada murid-murid sekolah rendah dan sekolah menengah selain memberi kesedaran kepada golongan ibu bapa tentang kelebihan dan peluang kerjaya yang luas dalam bidang TVET.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Unit Strategik Modal Insan Johor sedang menjalankan satu kajian bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkenaan penawaran dan permintaan guna tenaga di Johor yang meliputi pengumpulan data maklumat yang lengkap mengenai jumlah sebenar permintaan guna tenaga di negeri Johor. Kajian ini akan menjadikan satu tanda aras rujukan pihak kerajaan khususnya dalam kementerian serta agensi yang terlibat dalam merangka pelan yang meliputi dasar dan polisi kerajaan komprehensif serta merangka mesra industri agar Johor terus berdaya saing memakmurkan ekonomi domestik dan antarabangsa Insya-Allah. Di samping itu, Unit Strategik Modal Insan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan negeri Johor

sebagai platform perkongsian dan pengumpulan maklumat berkaitan skop pekerjaan, kemahiran dan peluang industri dengan menghimpunkan agensi-agensi berkaitan pembangunan modal insan dan pemain industri. Dengan penubuhan jawatankuasa ini, sebuah strategik baru dapat dirangka dalam membantu institut TVET melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi mengikut kepasaran yang berbeza, sekali gus mengisi peluang pekerjaan hasil pelaburan di terima di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker...

Speaker

Ini, Yang Berhormat satu minit lagi.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Dua minit Datuk, Yang Berhormat, mohon.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab bagi soalan Yang Berhormat Tanjung Surat dalam perbahasan beliau turut menekankan soal hebahan dan mendapatkan maklumat berkaitan pekerjaan. Insya-Allah, bagi soalan dan jawapan sekiranya tidak dapat saya menjawab dengan masa yang begitu singkat, insya-Allah saya akan menjawab soalan-soalan daripada cadangan-cadangan daripada Yang Berhormat secara bertulis, insya-Allah.

Penutupnya Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulan daripada ucapan jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan kepada seisi Sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diatur oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua.

Akhir sekali, selaku EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Johor saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua jabatan-jabatan dan pasukan yang berada di bawah portfolio saya dalam keadaan kekangan masa serta kewangan selain beberapa cabaran, mereka tetap terus bekerja keras meskipun baru sahaja suku pertama tahun 2023. Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, saya telah cuba yang terbaik untuk memberikan semua jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang, tindakan susulan akan diambil oleh saya dan ketua-ketua jabatan saya. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh kita jernihkan, yang kurang ditambahkan.

Negeri Melayu adat terbilang, syariat Islam jadi pegangan, kini Ramadan mula menjelang, salah silap mohon dimaafkan. Kepada semua Ahli-Ahli Dewan seluruh negeri Johor yang beragama Islam, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Bulan Ramadan tak boleh kempen Yang Berhormat ya. Terima kasih Yang Berhormat Larkin. Dijemput Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sekali lagi memberi peluang kepada saya untuk menggulung dalam sesi penggulungan perbahasan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertua bagi Negeri dan Jajahan

Takluk Johor Darul Ta’zim di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tuanku, patik mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh kerabat Diraja akan terus diberkati, dirahmati dalam menaungi negeri Johor dengan sejahtera, harmoni dan terus maju.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pendidikan memainkan peranan penting untuk mencapai hidup berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting dalam kualiti hidup manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu dan ilmu dikenal pasti sebagai faktor hasil. Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada di persekitarannya serta memahami diri sendiri. Dengan pendidikan, maka lahirlah para cerdik pandai. Hal ini secara langsung memperlihatkan perkaitan antara pendidikan dengan pembangunan sesebuah negara apabila dengan lahirnya para cerdik pandai, maka segala pentadbiran dan pengurusan negara dapat diuruskan dengan baik dan para cerdik pandai inilah bakal menaikkan nama negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2023 yang telah diumumkan pada 24 Februari 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas. RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun bidang pendidikan ini merupakan organisasi yang terletak tanggungjawabnya kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Johor amat komited dalam menjayakan agenda pendidikan yang lestari berpandukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Oleh itu, pelajar di negeri Johor yang uniknya telah didedahkan dengan pembelajaran Modul Kesultanan Islam Johor (KIJ) yang dikelolai oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Johor. Kerajaan negeri Johor juga memperkenalkan Modul Karakter Murid Johor (KRMJ) yang dikelolai oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang dimasukkan dalam bidang akademik yang digunakan dalam menyerapkan elemen-elemen teras prinsip rukun negara dan jati diri Bangsa Johor. Oleh itu, kerajaan negeri Johor berharap agar kita dapat melahirkan Bangsa Johor yang berkualiti dari segi intelektual, rohani dan juga jasmani.

Yang Berhormat Datuk Speaker serta Ahli Dewan yang mulia ini, baru-baru ini kita semua telah diuji dengan dugaan bencana banjir yang telah menimpa di negeri Johor. Bencana banjir baru-baru ini telah mengakibatkan beberapa sekolah dinaiki air dan beberapa pelajar yang mengikuti pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditangguhkan. Bencana ini juga perkara yang berlaku di luar jangka kita. Saya ingin menyentuh perkara yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat Seri Medan berkenaan sekolah yang terlibat banjir dan PPS, pada 28 Februari 2023 sehingga 21 Mac 2023, sebanyak 52 buah sekolah di negeri Johor telah dinaiki air dan sebanyak 187 buah sekolah telah menjadi pusat penempatan sementara. Sehingga kini, masih ada 19 buah sekolah di daerah Batu Pahat yang masih lagi menjadi PPS. Saya juga sendiri turun padang bersama dengan guru-guru dan para sukarelawan membantu bagi membersihkan kawasan-kawasan sekolah yang terlibat dengan banjir. Saya telah menyaksikan sendiri kerosakan kerusi dan meja serta peralatan-peralatan lain. Sedih, pilu dan remuk hati ini melihat semua kerosakan ketika itu apatah lagi perasaan warga sekolah itu sendiri.

Walau bagaimanapun, jumlah kerusi murid setakat ini masih boleh menampung keperluan murid dengan penyelarasan antara Pejabat Pendidikan Daerah Johor. Namun demikian, kerusi dan meja guru yang rosak telah dalam tindakan Sektor Infrastruktur dan Perolehan di

bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menurunkan waran perolehan aset sekolah dengan menggunakan peruntukan sedia ada bagi membuat perolehan penggantian aset khusus sekolah-sekolah yang terkesan dengan banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mengurangkan bebanan keluarga murid yang terlibat dengan banjir, pelajar terkesan dengan banjir dibenarkan hadir ke sekolah tanpa pakaian seragam sekolah. Kelonggaran ini diberi kerana tidak mahu membebankan ibu bapa dengan mewajibkan mereka membeli pakaian seragam anak sedangkan masing-masing terkesan dengan bencana. Peralatan persekolahan termasuk alat-alat tulis serta buku-buku tulis juga diberi kelonggaran agar murid yang terjejas banjir dapat memulakan sesi pembelajaran di sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM2.363 juta bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan untuk 58 buah sekolah yang akan dilaksanakan paling awal pada minggu hadapan. Oleh itu, kerajaan negeri Johor juga turut akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang akan diberikan kepada sekolah yang mengalami kerosakan yang sangat teruk di daerah Segamat dan Batu Pahat akibat bencana banjir ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh perkara yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Parit Raja mengenai pusat penempatan sementara di sekolah-sekolah. Secara asasnya, kerajaan persekutuan telah pun bersetuju untuk membina Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini kekal di lokasi hotspot yang sentiasa mengalami banjir di negeri Johor. Pada masa kini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembinaan PPS dengan kriteria seperti berikut:

1. Kawasan strategik di mana sekolah kerap digunakan sebagai PPS. 2. Mempunyai kawasan atau keluasan tanah yang sesuai. 3. Sekolah yang dicadangkan telah didaftarkan sebagai PPS. 4. Infra sedia ada lengkap seperti bekalan elektrik dan air yang mencukupi untuk penambahan dewan serba guna.

Pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM768,000.00 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 25 Ogos 2022 bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan kecil kepada 151 PPS yang aktif dan berdaftar di negeri Johor sebelum berlakunya monsun timur laut. Sebanyak 75 buah sekolah dan 76 buah balai raya, dewan orang ramai dan dewan serba guna telah menerima manfaat tersebut. Selain itu juga, pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM2,584,000.00 kepada Setiausaha Kerajaan Johor pada 28 Disember 2022 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf pusat pemindahan sementara di sekolah dan dewan orang ramai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya, seterusnya bagi mengatasi jurang liputan ini dengan lebih efektif, pelbagai program peringkat nasional telah diperkenalkan seperti JENDELA yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara. Pelan tindakan JENDELA ini adalah usaha semua pihak. Kejayaan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua terutamanya kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi-agensi yang berkaitan dalam membantu mempermudahkan proses-proses.

Saya juga ingin menyentuh perkara yang telah disentuh oleh Yang Berhormat Jementah berkenaan pemasangan fiber optic dan liputan Internet serta komunikasi. Usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. JENDELA Fasa 2 seterusnya akan memberi tumpuan untuk merapatkan jurang digital yang tidak tercapai ketika fasa pertama. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, perancangan dan pelaksanaan 5G telah dipertanggungjawabkan kepada Digital National

Berhad (DNB) di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Secara keseluruhannya DNB telah merancang untuk mendirikan hampir 7,500 stesen pemancar 5G di seluruh Malaysia menjelang penghujung 2023 dengan sasaran sebanyak 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk di mana 899 daripadanya berada di negeri Johor.

Sehingga 12 Mac 2022, sebanyak 676 stesen pemancar 5G telah siap di Johor dan 630 daripadanya telah pun beroperasi sepenuhnya. Sehingga 28 Februari 2023, liputan 5G di kawasan berpenduduk negeri Johor berada pada kadar 52.3%. Meskipun perlaksanaan 5G masih belum meluas terutama di kawasan luar bandar, liputan 4G melalui pelaksanaan JENDELA di kawasan berpenduduk di Johor sehingga suku keempat 2022, telah mencapai 99.9% dan di daerah Segamat liputan 4G di kawasan berpenduduk berada pada kadar 97.07%.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk perbahasan yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tiram berkenaan Pusat Ekonomi Digital atau lebih dikenali PEDi, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa meletakkan penekanan transformasi digital sebagai agenda utama di Pusat Ekonomi Digital itu supaya masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar boleh memperkasakan diri dengan kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan melalui aktiviti ekonomi digital. Antara inisiatif bagi menggalakkan rakyat khususnya usahawan mikro menceburi perniagaan dalam talian menerusi platform e-Dagang bagi menyokong ekonomi digital negara iaitu melalui program pemerkasaan pendigitalan usahawan kecil yang dinamakan PUPUK. Program ini melibatkan kerjasama strategik antara penyedia platform digital syarikat telekomunikasi serta PEDi bagi memperkasa dan membantu usahawan luar bandar terlibat dalam ekonomi digital.

Sebagai tambahan bagi merealisasikan aspirasi pendigitalan ekonomi negara, sejumlah 600 rakan digital PEDi telah dilantik di 600 buah PEDi terpilih di seluruh negara di mana seramai 61 rakan digital PEDi telah dilantik di negeri Johor bagi membantu memberi maklumat sokongan kewangan, melatih dan membangunkan usahawan mikro PEDi ini. Maklum balas daripada daripada orang awam bagi kawasan secara spesifik yang masih mempunyai masalah perkhidmatan adalah amat-amat dialukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil. Sebarang aduan yang berkaitan kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi boleh disalurkan terus kepada portal aduan MCMC menerusi pautan laman web http://jendela.my atau https://aduan.skmm.gov.my.

Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ada sedikit pantun untuk didengari oleh Ahli Dewan yang mulia ini. Dari Desaru ke Kota Tinggi, singgah berehat di Johor Lama, kalau YB semua nak maklumat lagi, silalah datang berbincang bersua bersama. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada muslimin dan muslimat. Sekian saya mengakhiri penggulungan saya dengan wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama. Sekarang dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Bukit Pasir ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Di kesempatan ini juga, Bukit Pasir ingin menjunjung kasih dan menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk

Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang jatuh pada 23 Mac 2023. Ribut bertiup dari selatan, lima Daeng membelah samudera, taat setia patik sembahkan, daulat Tuanku kekal bergema.

Patik juga ingin merafak sembah menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tempoh hari yang turut menyentuh isu-isu infrastruktur terutamanya jalan-jalan persekutuan di dalam negeri Johor. Insya-Allah, patik yakin titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya kerajaan persekutuan dapat memberikan peruntukan yang lebih besar bagi membaiki kerosakan-kerosakan jalan-jalan persekutuan ini akan diambil perhatian dan tindakan sewajarnya. Alhamdulillah, berkat titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku semasa Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 yang lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dalam ucapan pembentangan Belanjawan Negara 2023, telah mengumumkan beberapa projek yang dinanti-nantikan rakyat negeri ini. Antaranya ialah pelebaran Lebuh raya Utara – Selatan dari empat lorong kepada 6 lorong dari Yong Peng Utara ke Senai Utara Fasa 1 yang bernilai RM525 juta dan pembinaan lorong memotong di Senai – Desaru Expressway yang bernilai RM160 juta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan penggulungan saya hari ini berkisar tentang keadaan infrastruktur negeri Johor yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda negeri ini terutamanya keadaan jalan-jalan raya. Sekiranya masa mencukupi, saya akan turut menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Berhormat lain yang menyentuh portfolio saya semasa ucapan perbahasan mereka. Tiga beradik pergi ke Kedah, pokok Delima di tepi rumah, sabar itu cantik redha itu indah, yakinlah semua pasti ada hikmah.

Saya mulakan dengan jalan-jalan persekutuan yang turut disentuh dalam titah perasmian Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, terdapat 123 jalan-jalan persekutuan yang berada dalam negeri Johor dengan panjang 2,415 kilometer. Daripada jumlah tersebut, sepanjang 537 kilometer telah menggunakan Performance Based Contract (PBC) manakala selebihnya masih menggunakan Federal Road Maintenance (FRM) Contract. Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 256 lokasi kerosakan dikesan di sepanjang jalan-jalan persekutuan di seluruh negeri Johor. Pihak JKR juga telah mengajukan permohonan berjumlah RM223.5 juta. Namun begitu, hanya RM20.8 juta sahaja diluluskan setakat ini tahun 2023, yang mana angka ini hanya dapat membaiki 20 lokasi sahaja atau tidak sampai 8% daripada keseluruhan lokasi kerosakan. Dari Dewan yang mulia ini, sekali lagi saya memohon kerajaan pusat untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan-permohonan kerajaan negeri Johor ini.

Bagi jalan-jalan persekutuan FT01, FT03 dan FT05 jalan-jalan ini melalui kontrak PBC telah menerima peruntukan sebanyak RM105 juta bagi tahun 2023, bagi kerja-kerja pembaikan di 112 lokasi dengan pecahan seperti berikut : FT1 yang melibatkan Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru, menerima RM29 juta dan melibatkan pembaikan di 36 lokasi. FT003 maafkan saya, FT1 Batu Pahat-Johor Bahru, FT003 menerima RM37 juta yang mana akan digunakan untuk membaiki 27 lokasi dan FT005 menerima RM39 juta bagi pembaikan di 49 lokasi.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerja-kerja pembaikan di ketiga-tiga jalan persekutuan ini dipantau secara rapat oleh pejabat saya. Kerana jalan-jalan ini merupakan jalan yang paling banyak menerima aduan kerosakan teruk di dalam negeri Johor. Bagi tujuan pembaikan dan pemantauan secara terperinci, jalan FT01, FT03 dan FT04 dibahagikan kepada blok-blok yang mana setiap blok mewakili 100 meter per lorong. Ketiga-tiga jalan ini dibahagikan kepada blok dengan jumlah blok keseluruhan berjumlah 239,500 blok. Dan, daripada jumlah ini sebanyak 4,874 blok rosak direkodkan setakat tahun 2023 dengan pecahan seperti berikut : FT1 kita ada 896,000 blok dan 2,141 daripadanya

rosak. Dan insya-Allah pada tahun 2023 kita merancang untuk memperbaiki 1,193 dan akan ada baki blok yang rosak sebanyak 948 dan insya-Allah kita mohon kerajaan pusat dapat memberikan peruntukan yang lebih atau kita akan bawa kepada tahun hadapan.

Bagi FT003, sebanyak 725,400 blok yang mana kita kenal pasti 1,444 daripadanya merupakan blok yang rosak. Dan, insya-Allah pada tahun 2023 kita telah merancang untuk memperbaiki sebanyak 1,157 blok dan baki 287 blok akan disiapkan pada tahun hadapan. Dan, bagi FT005 sebanyak 773,600 blok dan dikenal pasti 1,289 daripadanya rosak dan insya-Allah sebanyak 977 blok akan dibaiki pada tahun ini dan bakinya 312 akan dibawa ke tahun hadapan. Sekiranya kerja-kerja pembaikan di FT001,003 dan 005 ini berjalan mengikut jadual yang telah disusun dan ditetapkan, insya-Allah kerosakan jalan-jalan ini dapat dikurangkan kepada hanya 0.06% sahaja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi Lebuh raya Pasir Gudang pula yang turut disentuh oleh Yang Berhormat Permas, Yang Berhormat Johor Jaya dan lain-lain Ahli-Ahli Yang Berhormat melibatkan dua jalan persekutuan iaitu FT17 dan FT35. Jalan ini merupakan antara jalan yang paling banyak aduan diterima termasuklah kemalangan yang sering berlaku akibat permukaan jalan yang teruk.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak JKR telah pun merancang pembaikan secara menyeluruh jalan sepanjang 28.2 kilometer ini melalui tiga fasa. Fasa satu, sepanjang 8 kilometer dari Kangkar Tebrau ke Plentong telah pun siap pada 2016 dengan kos RM143.9 juta. Fasa kedua, Fasa 2A, melibatkan panjang 7.7 kilometer dari Plentong ke Seri Alam, Taman Rinting juga telah siap pada tahun 2018 dengan kos RM155.2 juta. Dan, Fasa 2B melibatkan panjang jalan 5.5 kilometer dari Seri Alam, Taman Rinting ke Pasir Gudang telah pun dalam proses pembinaan melibatkan kos RM78 juta dan dijangka siap pada tahun 2025.

Untuk Fasa 3 yang Yang Berhormat Datuk Speaker, melibatkan 7 kilometer dari Perling ke susur naik Lebuh raya PLUS masih lagi dalam perancangan dan akan diangkat dalam Rolling Plan yang ketiga. Skop fasa 3 ini membabitkan kerja-kerja menaik taraf jalan daripada 4 lorong kepada 6 lorong sepanjang 7 kilometer, pembinaan semula struktur jalan sedia ada, menaik taraf sistem saliran, pelebaran jambatan FT17, FT6 dan FT21, meroboh dan membina baru jambatan FT17, FT2 dan FT60. Selain empat fasa ini, pihak JKR sentiasa melakukan permohonan melalui kontrak FRM bagi membaiki jalan-jalan yang rosak sepanjang Lebuh raya Pasir Gudang ini. FT17 memiliki 178,800 blok manakala FT35 memiliki 64,000 blok.

Mengikut perancangan dan peruntukan yang telah diluluskan untuk tahun 2023 setakat ini bagi FT17 sebanyak 36 blok akan dibaiki daripada 59 blok yang dikenal pasti sebagai rosak. Manakala bagi FT35, 12 blok akan dibaiki pada tahun ini berbanding 58 blok yang rosak seperti dalam rekod JKR. Bagi projek fasa 2B yang sedang berjalan, sebanyak 34,800 blok akan terlibat dalam kerja-kerja pembaikan yang mengambil tempoh masa 36 bulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berpindah ke jalan-jalan negeri seperti yang disentuh oleh beberapa Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pihak JKR dan konsesi telah mengenal pasti sebanyak 227 lokasi jalan rosak termasuk akibat banjir. Angka 227 lokasi ini dijangka bertambah selepas lokasi-lokasi banjir sudah boleh dimasuki oleh anggota kerja bagi tujuan penilaian kerosakan. Daripada jumlah itu, hanya 61 lokasi yang mampu dirancang dan dibaiki pada tahun ini dengan kos keseluruhan sebanyak RM37.5 juta. Daerah yang mencatatkan kerosakan paling teruk ialah daerah Segamat.

Oleh itu, pihak JKR Negeri Johor telah mengemukakan permohonan peruntukan kecemasan sebanyak RM168 juta melalui kerajaan negeri Johor kepada kerajaan persekutuan bagi menampung kos pembaikan jalan-jalan raya seluruh negeri Johor yang rosak akibat banjir.

Kerosakan jalan-jalan ini bukan sahaja melibatkan permukaan jalan yang berlubang-lubang malah turut membabitkan cerun runtuh, jalan yang mendap dan struktur jambatan yang rosak. Seperti yang saya sebutkan tadi, kos ini adalah kos semasa dan dijangka bertambah sebaik sahaja kawasan-kawasan yang masih ditenggelami air dapat di akses bagi tujuan penilaian.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerja-kerja pembaikan jalan tidak boleh dilakukan secara serta merta selepas banjir surut. Ini kerana keadaan tanah yang masih mengandungi air yang banyak akan mengganggu kekuatan struktur base tanah jalan, seterusnya menyebabkan jalan yang dibaiki memiliki kualiti ketahanan yang rendah seterusnya mengakibatkan kerosakan yang berulang. Selain itu, kajian mesti dilakukan khususnya yang melibatkan runtuhan cerun kerana tempoh masa yang lebih panjang diperlukan bagi melihat dan mengukur pergerakan tanah di tapak. Oleh itu, saya menyeru pengguna-pengguna jalan raya di luar sana agar dapat bersabar seterusnya berhati-hati ketika melalui jalan-jalan yang rosak ini. Pihak kami sedang berusaha keras memastikan jalan-jalan ini dapat dibaiki segera demi keselesaan semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik juga merupakan antara keperluan yang turut terjejas juga disentuh Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa perbahasan mereka antaranya Yang Berhormat Kemelah dan Yang Berhormat Bentayan. Semasa keadaan banjir pihak Ranhill SAJ telah memastikan semua pusat pemindahan sementara PPS mendapat bekalan air bersih yang mencukupi. Meski pun terdapat aduan tekanan air yang rendah, kebanyakan masalah itu adalah disebabkan oleh penggunaan yang terlalu ramai di sesetengah PPS.

Speaker

Yang Berhormat, 1 minit.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Genapkan pukul 11.00 Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh?

Speaker

1 minit Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Sikit bolehlah eh. Semasa, dah hilang dah Yang Berhormat Datuk Speaker. Pihak Ranhill SAJ telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan tangki-tangki statik di PPS yang memiliki penggunaan yang tinggi. Terdapat juga laporan mengenai beberapa paip milik RSAJ yang mengalami kerosakan akibat banjir. Namun begitu telah dapat dibaiki secara kecemasan, kini pasca banjir akibat penggunaan air yang tinggi disebabkan untuk mencuci kediaman tekanan air adalah sedikit rendah dan pihak RSAJ tidak dapat menaikkan lagi tekanan air bagi mengelakkan kejadian pecah daripada berlaku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman juga pihak TNB Johor telah membelanjakan setakat ini RM8.55 juta bagi membantu membaik pulih bekalan elektrik di kawasan-kawasan terjejas banjir di negeri Johor selain bantuan-bantuan keperluan asas di PPS.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih atas cadangan, pandangan dan persoalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berkaitan portfolio saya, saya minta maaf tidak dapat menjawab kesemuanya dan insya-Allah akan diberikan jawapan secara bertulis. Saya berjanji, pembangunan infrastruktur akan sentiasa menjadi keutamaan saya bagi menyahut hasrat Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030. Saya yakin sokongan dan dokongan serta doa Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita mampu menjadikan infrastruktur negeri Johor berkelas dunia insya-Allah. Saya juga

ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat berpuasa semoga Johor terus diberkati.

Dari Kedah terus ke Sabah, waktu Zohor solat bersama, Muafakat sudah Makmur pun sudah, kini Maju Johor jadi matlamat kita semua. Sekian, wabilahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullhi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Pasir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan, Ramadan Karem kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga yang hadir dalam Dewan pada hari ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 11.20 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan ini disambung sekarang. Di jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah sudi mencemar Duli bagi menyempurnakan majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Patik juga merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para pegawai kerajaan termasuk anggota ksihatan, askar, Polis, Bomba serta NGO-NGO dan sukarelawan seperti Southern Volunteers yang telah memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dan membantu kita mengharungi detik-detik sukar ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, saya merakamkan ribuan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi soal jawab mahu pun sesi perbahasan sepanjang sesi Sidang yang telah berlangsung. Saya bercadang tidak mengulangi perkara yang telah dibangkitkan semasa sesi soal jawab dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang bersifat dasar di bawah Jawatankuasa ini. Dan hari ini seperti Dewan ini sedia maklum, negeri Johor telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM70.6 bilion iaitu satu angka yang meletakkan negeri Johor di tangga pertama di Malaysia, menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Terima kasih saya ucapkan kepada para pegawai JCS, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan termasuk Invest Johor, MIDA, MITI, IRDA, JPDC, Jcorp, PBT-PBT serta sektor swasta atas pencapaian ini. Dengan kerjasama semua pihak, mudah-mudahan kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk Bangsa Johor dan meningkatkan lagi daya saing negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, secara amnya kerajaan negeri Johor menyambut dan telah menyokong dasar-dasar berkaitan pelaburan yang dirangka oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Aspirasi pelaburan nasional telah meletakkan, telah melibatkan lima teras utama, iaitu meningkatkan kepelbagaian dan ekonomi yang kompleks melalui pelaburan yang canggih. Kedua, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi. Ketiga, memperluaskan hubungan domestik dan kerantaian bekalan serantau. Keempat, mengembangkan kluster baharu yang melibatkan R&D dan kelima meningkatkan keterangkuman sosioekonomi. Dan di peringkat kerajaan negeri juga telah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 telah menggariskan 3 dasar dan 11 strategi utama untuk menarik pelaburan berkualiti dengan teras, dengan hala tuju 3H iaitu High Technology, High Value dan Halal.

Berkaitan dengan persoalan daripada Yang Berhormat Kukup, mengenai pembesaran kawasan Iskandar Malaysia untuk merangkumi seluruh daerah Pontian, pihak Iskandar Regional Development Authority telah menyiapkan rancangan pembangunan komprehensif ketiga yang menentukan hala tuju dan pembangunan kawasan Iskandar Malaysia sehingga tahun 2030. Dalam pelan tersebut sempadan Iskandar Malaysia sedia ada akan dikekalkan manakala 2 prinsip utama iaitu berdaya tahan, resilient dan inclusive telah diperkemaskan bagi menyokong misi dan pembangunan Iskandar Malaysia melalui 4 fokus utama, iaitu ekonomi bernilai tinggi. Kedua, masyarakat yang produktif, ketiga, kawasan berdaya tahan iklim dan wilayah rendah karbon dan keempat, bandar berdaya huni dan berintegrasi.

Seterusnya, cadangan strategik yang telah dikenal pasti yang dijangka dapat memanfaatkan daerah Pontian adalah, pertama, meningkat promosi sektor pelancongan sektor pelancongan eco dan inap desa, industri petrokimia, minyak dan gas, pusat hab halal dan kawasan perindustrian baharu termasuk kawasan perindustrian tropicana dan kawasan perindustrian Tanjung Bin. Bagi menjayakan konsep masyarakat yang produktif, program-program peningkatan kemahiran pekerja akan dilaksanakan di daerah Pontian. Ketiga, beberapa projek alam sekitar seperti program pengurangan dan pengurusan risiko bencana akan dilaksanakan di sekitar perairan selatan Pontian bagi menangani isu hakisan. Dan keempat peningkatan perhubungan antara bandar seperti teksi air, pembersihan sungai dan peningkatan Internet telah dirancang bagi membangunkan daerah Pontian untuk menjadi daerah, bandar berdaya huni dan berintegrasi.

Selain itu, Taman Negara Tanjung Piai telah diwartakan dan mempunyai beberapa pengiktirafan sebagai Penghujung Selatan Tanah Besar Benua Asia. Dan diiktiraf sebagai tapak RAMSAR iaitu tanah lembap berkepentingan antarabangsa. Sukacita juga dikongsikan bahawa sebagai salah satu kawasan hijau atau akses semulajadi utama dalam kawasan Iskandar Malaysia, IRDA bekerjasama rapat dengan Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi-agensi teknikal lain bagi memastikan isu hakisan yang dihadapi di kawasan berkenaan dapat dikawal melalui pembinaan pemecah ombak yang telah pun disiapkan pada tahun 2018. Pembangunan masyarakat setempat melalui strategi pemerkasaan dan pemerdayaan komuniti turut diberi peningkatan. Projek terbaru adalah pembinaan inap desa berkonsepkan tiny house. Restoran fasiliti terbuka yang terletak di kawasan Tanjung Piai. Pejabat Daerah Pontian bertindak sebagai agensi pelaksana di mana kemudahan ini diserah kepada Koperasi Muafakat Tanjung Piai yang berfungsi sebagai penggerak sosioekonomi penduduk yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan selain bertindak sebagai penjana dan penyedia modal bagi kesinambungan perniagaan penduduk setempat,

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan zon kewangan khas yang diumumkan dalam bajet kerajaan persekutuan, jabatan dan agensi kerajaan negeri sedang mendapatkan perincian berhubung insiatif ini daripada Kementerian Kewangan. Sektor perkhidmatan kewangan dan perniagaan merupakan sektor yang dipromosikan di dalam kawasan Iskandar Malaysia. Dan sektor akan menjadi sektor fokus untuk inisiatif zon kewangan khas

ini. Dalam hal ini pelabur yang disasarkan merangkumi pelabur tempatan dan antarabangsa khususnya dari negara Singapura yang merupakan hab kewangan antarabangsa di rantau ASEAN dan juga Asia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan usaha-usaha untuk menyelaraskan isu-isu yang dihadapi oleh pemain industri dan pelabur sepertimana yang telah pun yang dinyatakan, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Negeri Johor atau Johor Investment Committee yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk menyelaraskan polisi-polisi dan dasar-dasar kerajaan mengenai pelaburan supaya ia diterima pakai dan diambil tindakan sewajarnya selain membuat pemantauan secara berkala tentang projek-projek yang sedang dilaksanakan. Isu-isu dasar yang perlu diberi perhatian akan diangkat dan dimuktamadkan keputusannya dalam mesyuarat ini.

JIC merangkumi 3 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh saya iaitu Jawatankuasa Promosi Pelaburan, Jawatankuasa Pemantauan Pelaburan dan Johor Convention And Exhibition Bureau. Untuk sesi pra pelaburan, Jawatankuasa ini ditubuhkan menyelaras segala kemasukan pelaburan kerana terdapat beberapa agensi kerajaan yang menjalankan tugas yang lebih kurang sama iaitu untuk membawa masuk pelaburan ke negeri Johor. Negeri Johor mempunyai beberapa agensi pelaburan seperti MIDA, MITI, IRDA, JPDC, JCorp dan lain-lain. Sekiranya pelaburan tidak diselaraskan, ianya agak menyukarkan pihak kerajaan negeri untuk memantau dan juga mungkin mengelirukan pelbagai pihak terutamanya para pelabur sendiri. Dengan adanya Jawatankuasa ini, kerajaan negeri akan lebih fokus dalam menjalankan promosi bagi menarik pelaburan ke negeri Johor dengan memberi pendekatan kepada sektor-sektor yang berpotensi tinggi.

Untuk Jawatankuasa Pasca Pelaburan, penyelarasan pemantuan kemajuan aktiviti yang telah diluluskan secara bersepadu di negeri Johor adalah diperlukan bagi tujuan penambahbaikan aktiviti-aktiviti berkenaan pelaburan dan perindustrian di negeri ini. Melalui Jawatankuasa ini, kerajaan negeri, melalui jabatan dan agensi yang berkaitan terutamanya Pejabat Tanah dan Galian, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi di bawah kerajaan persekutuan dan badan bukan kerajaan dapat mencapai kesepakatan dan keputusan bersama dalam hal ehwal berkaitan pelaburan dan perindustrian sedia ada. Seterusnya Johor Convention And Exhibition Bureau pula merupakan satu inisiatif untuk meneroka bidang baru dalam mempelbagaikan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Bidang baru ini dikenali sebagai business event yang sangat berpotensi untuk menjana limpahan ekonomi pelbagai sektor kepada rakyat negeri Johor. Antara sektor utama yang mendapat faedah limpahan ekonomi melalui penganjuran business event ini adalah sektor pelancongan termasuk industri perhotelan, perkhidmatan, pelaburan dan perdagangan antarabangsa. Seterusnya kerajaan negeri juga menubuhkan Industrial Park Management Committee di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Ahli-ahli IPMC adalah terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, separa kerajaan, persatuan pemain industri setempat dan lain-lain. IPMC dipengerusikan oleh Tuan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan sebagai platform perantaraan pihak industri dengan pihak jabatan kerajaan yang berkaitan untuk berbincang serta mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah-masalah industri.

Seterusnya Jawatankuasa ini akan meneruskan usaha penstrukturan Invest Johor bagi menjayakan transfomasi Invest Johor kepada sebuah badan korporat profesional yang diiktiraf dan dipercayai dalam sektor pelaburan domestik mahu pun antarabangsa. Selepas 18 tahun Invest Johor ditubuhkan, sebelum itu dikenali sebagai JSIC (Johor State Investment Centre), tugas dan peranan Invest Johor semakin bertambah seiring dengan revolusi dan trend pelaburan ke negeri Johor. Ia memerlukan nilai tambah dalam agensi ini supaya ia kekal menjadi pemudahcara dalam memastikan kemasukan pelaburan bermutu tinggi ke Johor, dan mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada para pelabur. Justeru,

Jawatankuasa ini berpendapat pemerkasaan Invest Johor adalah tindakan yang tepat bagi memperluaskan skop perkhidmatan Invest Johor pada sektor-sektor baru selain sektor pembuatan, menawarkan khidmat nasihat dan penghubung perniagaan kepada bakal pelabur. Merangka polisi berkaitan pelaburan dan sebagai marketing arm kerajaan negeri Johor dalam hab pelaburan, perdagangan dan industri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Perling membangkitkan isu berkaitan dengan kerjasama mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Kerjasama Johor – Singapura. Berkaitan cadangan ini memang sudah ada satu platform melalui Joint Ministrial Committee For Iskandar Malaysia yang dipengerusikan bersama oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Menteri Ekonomi Malaysia serta Menteri Pengangkutan dan Menteri Pembangunan Singapura. JMCIM ini mempunyai beberapa kumpulan kerja iaitu, pertama, kumpulan kerja Imigresen untuk memudahkan meningkatkan kelancaran pemeriksaan hal-hal berkaitan Imigresen. Kedua, kumpulan kerja pelancongan untuk meningkatkan aliran pelancongan di antara kawasan Iskandar Malaysia dan Singapura. Ketiga, kumpulan kerja alam sekitar untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan tentang isu alam sekitar yang mempunyai kepentingan dan kemampanan bersama melalui bengkel pembinaan kapasti. Keempat, kumpulan kerja inovatif yang memberi fokus kepada kerjasama teknologi. Kelima, kumpulan kerja perbadanan industri yang berusaha mempergiatkan kerjasama dan peluang pelaburan sedia ada dan baharu. Keenam, kumpulan kerja pautan pengangkutan dan ketujuh, kumpulan kerja ekosistem makanan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan cadangan membangunkan tenaga kerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tanjung Surat. Berkaitan kerajaan negeri Johor dan juga kerajaan persekutuan telah melaksanakan pelbagai program dan gerak kerja untuk melatih dan mempersiapkan tenaga kerja. Sebagai contoh, sejak tahun 2013 hingga kini Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) secara aktif menyediakan kelompok tenaga kerja Malaysia dan Bangsa Johor yang berkemahiran untuk tujuan pembangunan operasi industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia serta kerja-kerja berkaitan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang yang terletak di kawasan Yang Berhormat Tanjung Surat. Inisiatif JPDC ini adalah di bawah rangka kerja MYMATCHER atau Malaysia’s Manpower Training, Certification, Hiring and Retention Programme. Matlamat utama inisiatif ini adalah menyediakan latihan kemahiran industri termasuk up-skilling dan re-skilling kepada Bangsa Johor dan juga rakyat Malaysia secara amnya demi mempersiapkan kelompok tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mempunyai persijilan daripada institut latihan teknikal yang mempunyai pentauliahan industri. Dalam melaksana inisiatif ini JPDC sentiasa memberi keutamaan untuk melatih anak muda dan tenaga dari kalangan masyarakat setempat khususnya dari negeri Johor dari rekod tertinggi dan daerah kecil Pengerang tanpa mengabai rakyat Malaysia yang lain. JPDC menggunakan saluran ketua-ketua masyarakat untuk mendapat calon-calon pelatih selain melalui platform seperti job and career fair portal peluang pekerjaan dan lain-lain. Hasilnya, untuk tempoh mula 2013 hingga akhir tahun 2022, inisiatif ini telah menyediakan seramai 6,299 orang tenaga kerja mahir untuk industri hiliran minyak dan gas, industri petrokimia serta industri berkaitan. Ini termasuk 3,702 orang tenaga kerja mahir yang dilatih dan diambil bekerja oleh pelbagai majikan.

Speaker

Yang Berhormat, 1 minit.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Masa, semasa pembinaan Kompleks PETRONAS ini. Sukacita dimaklumkan bahawa 95% daripada 6,299 tenaga mahir yang dilatih berjaya mendapat pekerjaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan akan terus meneruskan strategi membangunkan sosioekonomi semua daerah di Johor yang berteraskan potensi dan kearifan setempat untuk mewujudkan pertumbuhan seimbang. Dalam usaha membangunkan ekonomi, kerajaan

negeri juga peka terhadap isu-isu kos sara hidup yang semakin meningkat. Oleh itu, kerajaan negeri menerima baik cadangan dan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang telah merangka program Rahmah untuk membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan. Program yang dikenali sebagai Payung Rahmah telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023 yang meliputi 4 inisiatif iaitu, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Cafe Rahmah. Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar serta KPDN Johor untuk menjayakan program-program Rahmah termasuk Bazar Ramadan Rahmah yang sedang dirancangkan. Sukacita dimaklumkan juga bahawa sehingga 19 Mac 2023, sebanyak 127 restoran di negeri Johor telah menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan Menu Rahmah di premis mereka. Informasi berkaitan premis Menu Rahmah boleh didapati melalui laman web KPDN Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya sekali mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan isu-isu semasa pada Persidangan Dewan kali ini. Ahli-Ahli yang Berhormat, bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta. Sekian, terima kasih. Salam Maju Johor. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat YB Paloh. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan. 15 minit.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sidang Dewan yang dimuliakan. Pertamanya patik merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan dan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Patik turut merafak sembah menjunjung kasih dan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada esok hari, 23 Mac 2023.

Tidak lupa juga patik menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuanku yang turut sama mencemar duli melawat dan menyantuni rakyat yang sedang berdukacita atas kejadian banjir yang menimpa mereka.

Seperti semua sedia maklum, banjir yang dihadapi negeri Johor kali ini bagaikan satu mimpi ngeri yang mengulangi nostalgia tahun 2006 dan 2007 yang lalu. Banyak rumah-rumah dan harta benda yang musnah dan tidak dapat diselamatkan. Saya mohon doa seisi Dewan agar musibah banjir ini berlalu dengan cepat terutamanya ketika umat Islam akan menyambut bulan Ramadan pada hari esok.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi serta sahabat-sahabat EXCO, sahabat-sahabat ADUN dan juga semua agensi dan juga NGO dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan musibah yang kita lalui ini kita atasi bersama dan memudahkan urusan semua pihak.

Sidang Dewan sekalian, untuk makluman semua sepanjang musim banjir ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menubuhkan pasukan mobile yang bergerak dari satu PPS ke PPS yang lain. Sebanyak 91 pasukan dengan kekuatan 455 orang petugas kesihatan bergerak untuk menjalankan ujian saringan kesihatan dan mengenal pasti jika ada penularan wabak di PPS. Dan setakat hari ini, semuanya masih terkawal. Selain itu turut diselitkan pendidikan kesihatan kepada penduduk-penduduk yang mendiami PPS.

Saya juga ingin memaklumkan banjir kali ini telah menyebabkan sebanyak 41 fasiliti kesihatan di negeri Johor seperti klinik kesihatan dan klinik desa yang terjejas operasinya setakat 21 Mac 2023. Dari 41 fasiliti kesihatan tersebut, 38 sudah mula beroperasi kembali selepas air surut dan kerja-kerja pembersihan dilakukan. 3 lagi fasiliti kesihatan tidak beroperasi kerana 2 fasiliti kesihatan iaitu Klinik Desa Kundang Ulu Tangkak dan Klinik Kesihatan Chaah di bawah kategori masih tidak selamat untuk beroperasi dan dipindahkan pengoperasiannya di Klinik Kesihatan Gersik dan Dewan Serba Guna Chaah bagi satu lagi fasiliti kesihatan Klinik Desa Sri Pandan masih dalam proses pembersihan.

Sehubungan dengan ini juga, JKNJ telah menghantar permohonan bagi peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pembaikan dan pembelian peralatan perubatan, bukan perubatan serta kenderaan yang rosak akibat bencana banjir ini. Jumlah permohonan adalah sebanyak RM2,894,175. Dan mudah-mudahan permohonan ini dapat disegerakan dan diberi perhatian oleh Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sekijang supaya semua fasiliti kesihatan dapat beroperasi seperti sediakala.

Sidang Dewan sekalian, sepanjang perbahasan ada beberapa isu kesihatan yang timbul dan perlukan pencerahan.

Pertamanya, soalan dari YB Kukup berkenaan dengan pembangunan hospital swasta di Pontian. Untuk makluman, saya pernah dibentangkan mengenai pembinaan hospital swasta bagi daerah Pontian oleh satu syarikat yang berminat untuk melabur. Dalam pembentangan ada menyatakan yang syarikat ini sedang berada dalam fasa perbincangan bersama kontraktor mengenai isu pemilikan tanah dan pembinaan hospital. Moga-moga ada sinar untuk orang Pontian. Selain dari itu, satu berita baik untuk orang Pontian adalah melalui pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan kerja-kerja awalan bagi menaik taraf 26 hospital di seluruh negara termasuk Hospital Pontian, Johor yang berusia hampir seabad sekali gus memberi manfaat kepada warga Pontian mendapatkan kemudahan rawatan terbaik.

Seterusnya, bagi menjawab persoalan dari YB Parit Raja berkenaan penaiktarafan klinik-klinik kesihatan ini. Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih dan tahniah kepada YB Parit Raja kerana sentiasa menerjah dan memastikan Klinik Kesihatan Parit Raja ini dapat disegerakan pembinaannya. Bagi memberi kemudahan akses kesihatan untuk orang Parit Raja dan sekitar. Untuk makluman YB Parit Raja dan seisi Dewan, KK Parit Raja kini berada di dalam fasa pengiklanan dan pengeluaran tender, dijangka akan diiklan pada 24 Julai 2023 dan tarikh SST dijangka pada 1 November 2023.

Bagi penaiktarafan klinik-klinik kesihatan dan klinik-klinik desa ini kita sedang usaha secara berperingkat. Buktinya setiap tahun JKNJ menghantar permohonan kepada pihak Kementerian Kesihatan agar diberi fasiliti kesihatan yang baru atau menaiktaraf yang sedia ada. Tahun ini sahaja, kita baru merasmikan pembukaan bangunan baru Hospital Segamat dan dalam pembentangan belanjawan tahun ini telah diumumkan penaiktarafan dan pemulihan Hospital Pontian. Dan pada tahun 2024, sebuah lagi hospital akan disiap di Pasir Gudang.

Untuk soalan YB Bukit Gambir, berkenaan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Gambir adalah JKNJ sedang dalam usaha untuk mengenal pasti tapak yang bersesuaian bagi tujuan pembangunan Klinik Kesihatan Jenis 3 Bukit Gambir berserta kuarters. Jabatan ini telah menerima cadangan permohonan tapak yang baru daripada Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak pada 31 Januari 2023 dan sedang dalam tindakan mendapat ulasan daripada agensi dan jabatan teknikal yang terlibat.

Untuk makluman seisi Dewan, berkenaan soalan YB Kemelah mengenai Hospital Segamat. Oleh kerana kita telah membina satu bangunan baru di Hospital Segamat, 331 perjawatan baru ataupun tambahan telah dibuka berdasarkan agihan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia melalui waran perjawatan KKM Bil. 186 Tahun 2022 bertarikh 23 Disember 2022. Jadi kita akan dapat pertambahan petugas kesihatan di Segamat khususnya.

Satu lagi isu yang dibangkitkan mengenai bilangan ambulans yang tidak mencukupi. Untuk makluman, bilangan ambulans yang berfungsi dengan baik di Hospital Segamat adalah sebanyak 6 buah. Selain itu, bagi menampung keperluan pengguna ambulans bagi penduduk daerah Segamat, terdapat 13 buah ambulans di bawah Pejabat Daerah Segamat yang turut membantu Hospital Segamat dalam menjalankan perkhidmatan rawatan pra hospital dan ambulans. KKM dan JKNJ sentiasa memantau keperluan ambulans dan akan membuat permohonan perolehan mengikut keperluan semasa.

Saya juga mendapat soalan dari YB Sungai Balang berkenaan dengan Hospital Muar. Buat masa ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kita berfokus kepada beberapa projek utama namun kepentingan di Hospital Muar seperti dari sudut bangunannya, perubatannya, peralatannya, perubatan dan parkir akan saya dan pihak JKNJ diperhalusi dan bawa ke Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke semasa.

Untuk sekarang, projek yang akan dijalankan di Hospital Muar adalah penaiktarafan sistem loji rawatan air kumbahan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Rolling Plan Ke-4.

Bagi menjawab persoalan YB Senai. Untuk makluman, jumlah perjawatan tetap di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai sehingga 28 Februari 2023 ialah sebanyak 445 orang dengan pengisian sebanyak 419 orang. Selain itu, bagi menampung keperluan perkhidmatan dan beban tugas di fasiliti terdapat juga 39 jawatan di bawah lantikan kontrak.

Selain itu, berkenaan ambulans di Hospital Kulai. Pembaikan 2 ambulans sedang dilaksanakan dan dapat digunakan dalam masa terdekat. Bagi memastikan isu pengisian jawatan sedia ada diberi perhatian dan tindakan berterusan oleh KKM dan JKNJ. JKNJ sentiasa mengemukakan permohonan pengisian kekosongan pelbagai jawatan dan gred kepada Bahagian Sumber Manusia, KKM secara berkala. Ini termasuk pelaporan atau retend bulanan bagi urusan perjawatan bagi Bahagian Sumber Manusia KKM untuk semua skim perkhidmatan di JKNJ.

Bagi soalan YB Kota Iskandar dan YB Pemanis, saya ucapkan terima kasih di atas cadangan yang diberi. Saya akan perinci dan bawa ke perbincangan agar pembangunan sistem di kawasan tersebut dapat direalisasikan.

Sidang Dewan yang dihormati. Walau pun isu perpaduan hangat diperkatakan baru-baru ini, tetapi kita di Johor kekal sebagai Bangsa Johor dan cara Johor. Seperti saya dan YB Fared, EXCO Agama Johor, kami sentiasa mengekalkan komunikasi dan perpaduan bersama. Selain itu kita bertuah kerana Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa memberi nasihat dan panduan kepada kita orang Johor. Saya melarang sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang cuba mengganggu permuafakatan dan keamanan di Johor sama ada melalui provokasi atau apa-apa cara sekali pun.

Saya juga terima beberapa soalan baik secara bertulis mahu pun lisan mengenai peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI). Untuk makluman semua, kita sekarang berada di dalam proses tatacara pengelolaan kewangan dan hampir selesai. Tidak lama lagi duit permohonan akan dikreditkan ke akaun yang telah ditetapkan selepas proses semakan

tuntutan kepada NGO selesai dan mendapat kelulusan dari Pejabat Kewangan Negeri. Jangan risau, kami di kerajaan Johor, janji ditepati.

Sidang Dewan sekalian, di penghujung penggulungan saya, saya ingin mengucapkan, bangun pagi sahur bersama, berbuka pula makan ikan. Jangan dilupa buah kurma, selamat berpuasa saya ucapkan. Selamat berpuasa kepada semua umat Islam khususnya Bangsa Johor. Satu lagi pantun sebelum saya mengundur diri. Tanah subur bunga berkembang, banyak bunga banyaklah kumbang. Di sini kerajaan di sana pengimbang, berkhidmat dengan penuh cemerlang. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Yong Peng. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. (bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullah, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Alhamdulillah, sama-sama kita merafak kesyukuran kepada Allah SWT pada hari ini sampailah ke sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Patik merafakkan sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya di atas Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang telah berkenan bertitah dan menyempurnakan Mesyuarat Pertama pada kali ini. Di kesempatan ini patik juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan pada esok, tanggal 23 Mac 2023. Patik dan sekalian rakyat khususnya masyarakat Semerah berdoa kehadrat Allah SWT agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor dikurniakan keselamatan dan kesihatan serta dilanjutkan apalah jua kiranya akan usia Tuanku berdua, bertambah-tambah lagi darjah kebesaran dan kedaulatan.

Seperti yang kita sedia maklum Datuk Speaker, pada penghujung Februari bulan ini, negeri Johor ditimpa dengan ujian yang besar dan sehingga hari ini masih lagi ada kawasan yang belum pulih sepenuhnya dari ujian banjir. Ia berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa hampir 2 kali ganda dari purata hujan bulanan pada 28 Februari sehingga 1 Mac.

Daerah Batu Pahat merupakan daerah yang terkesan dengan ujian ini bahkan di kawasan saya sendiri Semerah turut tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, pada 20 Mac yang lepas semua PPS di DUN Semerah khususnya telah pun ditutup dan orang Semerah semuanya Datuk Speaker telah pun berada di rumah masing-masing.

Datuk Speaker, saya memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut Ayat 2. (bacaan ayat al-Quran), Allah berfirman yang maksudnya, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan”. Maka kita perlulah menginsafi ujian yang Allah beri kepada negeri kita ini dengan banjir dan kesannya yang amat besar. Antara hikmahnya Datuk Speaker yang dapat saya kongsikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam pada kali ini ialah kita telah membantu dengan memberikan arahan kepada masjid-masjid yang berdekatan dengan semua kawasan-kawasan banjir untuk di buka dan turut dijadikan PPS di seluruh negeri Johor. Sebanyak 11 buah masjid dan surau dijadikan sebagai PPS yang menempatkan hampir 2009 orang mangsa banjir dengan kos keseluruhan yang ditanggung menggunakan kewangan masjid dan surau sebanyak RM69,125.00.

Bagi masjid yang tidak terkesan dengan banjir pula, bantuan sumbangan yang turut diberikan kepada PPS yang berdekatan adalah dianggarkan sebanyak RM136,590.00 yang dimanfaatkan seramai 4,727 orang mangsa. Tercetusnya langkah ini dapat memperkasakan

semula fungsi dan juga peranan masjid dan surau sebagai tempat perlindungan kepada masyarakat dan juga dijadikan perlindungan untuk penduduk setempat.

Pembukaan PPS ini mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Bahagian Pengurusan Masjid. Saya juga suka mengongsikan Datuk Speaker, bahawa sehingga ke hari ini, terdapat kira-kira 20 buah PPS yang masih dibuka di Batu Pahat, dan di antara PPS-PPS ini, keperluannya menjelang bulan Ramadan adalah keperluan untuk diadakan solat tarawih. Maka dengan ini, saya suka maklumkan Dewan yang mulia, kesemua 20-20 PPS yang sedang berlangsung di Batu Pahat ini telah pun ditempatkan dengan imam-imam dan bilal yang khas dari masjid yang berdekatan untuk aktiviti jemaah dan juga solat tarawih ditunaikan di PPS yang berkenaan. Contohnya di SK Sri Jagung Sri Medan, surau sekolah tersebut akan digunakan sebagai pusat ibadah dan juga ruang untuk menjadikan solat tarawih juga solat secara berjemaah.

Inilah di antara hikmah apabila Allah turunkan ujian kepada kita. Saya suka memetik riwayat yang berlaku kepada Nabi Yusof AS, ketika Baginda ditanya tentang apakah keperluan berpuasa? PPS pada kali ini akan menempatkan mangsa-mangsa yang akan berpuasa dalam PPS itu sendiri. Nabi Yusof AS berkata, ‘kenapa aku berpuasa? Aku khuatir apabila aku kenyang nanti aku melupakan perut fakir dan miskin.’ Maka saya menyeru Dewan yang mulia, dalam keadaan kita tidak diuji dengan banjir, sedangkan masih lagi ada masyarakat kita yang teruji dengan bencana ini. Marilah kita sama-sama terus menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk meraikan kedatangan bulan Ramadan, supaya mangsa-mangsa ini terubat hatinya dan mendapat kelegaan di jiwa mereka.

Saya juga melaporkan Datuk Speaker, Sekolah Agama Kerajaan Johor juga tidak terkecuali dari ujian banjir ini. Hasil naziran yang dibuat sebanyak 54 buah sekolah terlibat dengan banjir, 60 buah sekolah agama sebagai pusat penempatan sementara banjir. Daerah Batu Pahat mencatatkan jumlah yang tertinggi di mana sebanyak 26 buah sekolah terkesan dan 30 buah dijadikan PPS. Mengikut laporan, kerugian yang dianggarkan adalah sebanyak RM547,730.00 yang diklasifikasikan dalam empat kategori. Kategori ringan, sederhana, berat dan sangat berat.

Saya juga mengucapkan dalam ruangan penggulungan ini jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu bencana banjir seluruh negeri Johor dan diucapkan untuk terus membantu sehingga banjir selesai sepenuhnya. Saya juga ingin merekodkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor juga turut menyumbang dalam perbelanjaan operasi banjir di mana Majlis Agama Islam Negeri Johor telah membelanjakan sekitar RM1.6 juta bagi maksud bantuan banjir. PIJ, Perbadanan Islam Johor juga menyumbangkan keperluan bantal dan juga toto, Lembaga Tabung Haji menyumbangkan 700 kit solat yang berjumlah RM140,000.00. Kita juga menerima bantuan daripada agensi luar, antaranya Lembaga Zakat Negeri Kedah menyalurkan keperluan barang dapur, kuantitinya sebanyak 22,664 jenis barangan di mana 12,000 daripadanya adalah beras lima kilogram. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga menyalurkan bantuan tunai RM1 juta dan sumbangan lain termasuk peralatan kebersihan berjumlah RM511,000.00.

Datuk Speaker, saya mula menggulung. Yang Berhormat Kukup dan Yang Berhormat Layang-Layang begitu cakna dan prihatin terhadap keperluan tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Terima kasih atas cadangan yang diberikan dan sudah pasti kami akan menitik beratkan setiap cadangan yang diberikan. Isu tauliah penceramah ini amat penting. Bahkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga telah menitahkan di dalam titah pembukaan Baginda, bahawa mana-mana jawatankuasa masjid dan surau yang memanggil mana-mana penceramah yang tidak bertauliah hendaklah dipecat.

Saya juga suka berkongsi bahawa perlulah diluruskan sedikit pandangan tentang prosedur pemberian tauliah di negeri Johor Darul Ta’zim. Seksyen 18(3) Enakmen Pentadbiran

Agama Islam (Negeri Johor) menyatakan hanya Majlis Agama Islam Negeri Johor lah di dalam negeri Johor, pihak berkuasa yang berkuasa untuk memberikan tauliah kepada mana-mana orang yang berkelayakan. Proses pemberian tauliah ini bukanlah boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya. Mereka yang memohon itu perlu selari dengan hukum syarak yang dikanunkan pada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor (Pindaan) 2014 yang menyatakan mestilah penceramah itu berakidah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyyah, bermazhab Syafie tanpa menolak mazhab-mazhab muktabar yang.

Mereka juga hendaklah memenuhi kelayakan Jawatankuasa Fatwa yang sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan darjah khas dan memiliki kelulusan dalam bidang pengajian agama Islam. Permohonan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Kadi untuk mendapatkan tauliah. Tempoh permohonan ini adalah lebih kurang tiga bulan, tertakluk kepada tapisan kerana semakan yang terperinci perlu di buat bagi menapis mereka yang benar-benar layak untuk memberikan ceramah agama di negeri Johor Darul Ta’zim. Selepas mendapat tauliah, mereka-mereka ini boleh membuat penyambungan dan penyambungan ini juga perlu ditapis semula oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kesemua penganjur yang ingin menjemput penceramah perlulah terlebih dahulu memohon kepada Pejabat Kadi Daerah selewat-lewatnya 14 hari bekerja sebelum tarikh penganjuran berlangsung. Berkaitan penganjuran ini, didapati pihak-pihak yang hendak menjadi penganjur memang memohon kepada Pejabat Kadi Daerah, namun kadang-kadang mereka menyertakan nama penceramah yang masih tidak mempunyai tauliah. Maka saya nasihatkan, kesemua pihak yang ingin menganjurkan ceramah-ceramah agama, berhubunglah dengan Pejabat Kadi Daerah masing-masing bagi mendapatkan senarai mereka-mereka yang dibenarkan menyampaikan ceramah juga ajaran agama Islam dalam negeri Johor ini.

Datuk Speaker, Yang Berhormat Pasir Raja melalui perbahasan mencadangkan agar sebuah masjid di bina di Taman Daiman Jaya, memandangkan taman tersebut hampir 10 tahun tidak mempunyai masjid. Hasil laporan yang diperolehi, didapati pembinaan masjid di Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi masih belum dapat dilaksanakan kerana kawasan perumahan tersebut masih belum mempunyai tapak tanah wakaf atau masjid yang sesuai. Saya akan berurusan dengan jabatan yang berkaitan, termasuk mendapatkan kerjasama dari Majlis Daerah Kota Tinggi juga Pejabat Daerah Kota Tinggi untuk memperhalusi dan insya-Allah menyelesaikan perkara ini. Kita juga akan membantu bagi maksud kelulusan dan juga seterusnya pendanaan bagi pembinaan masjid yang dicadangkan tersebut.

Yang Berhormat Tanjung Surat bertanyakan mengenai fasiliti dan status pemasangan Wi-fi di seluruh Sekolah Agama Kerajaan Johor. Untuk makluman Dewan yang mulia, hasil laporan yang diperolehi dari Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, bagi mana-mana sekolah yang memohon penggantian perabot yang telah usang akan dimuktamadkan pada bulan April ini. Saya juga ingin memaklumkan, pada tahun lepas Datuk Speaker, hanya sekitar RM500,000.00 sahaja peruntukan untuk perabot-perabot sekolah agama. Tetapi alhamdulillah pada tahun 2023 ini, peruntukan untuk memenuhi keperluan perabot sekolah telah ditingkatkan kepada RM2.5 juta. Mudah-mudahan ia dapat memenuhi keperluan sebanyak sekolah yang memohon.

Bagi status pemasangan Wi-fi di Sekolah-sekolah Kerajaan Johor, sebanyak 575 buah sekolah akan dilengkapi kelengkapan Wi-fi ini bermula bulan April tahun ini bagi memenuhi keperluan pembelajaran digital JPID Al-Bayen.

Yang Berhormat Maharani mencadangkan agar dikaji semula tindakan pemecatan ahli jawatankuasa masjid yang melanggar garis panduan yang ditetapkan. Kerajaan negeri Johor sangat terbuka dalam menerima semua cadangan penambahbaikan. Walau bagaimanapun, perlu diperhatikan bahawa semua jawatankuasa masjid dan surau tertakluk

kepada peraturan-peraturan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor. Pemecatan ataupun pembatalan perjawatan yang dipegang oleh mana-mana pegawai-pegawai masjid sebenarnya tertakluk kepada Peraturan No.18 dan 19, Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Johor. Saya bacakan Datuk Speaker, bahawa penamatan jawatankuasa pengurusan masjid kariah boleh di buat pertama, sekiranya dia meninggal dunia, kedua, dia tidak berada di Malaysia dalam tempoh melebihi tiga bulan ataupun dia tidak lagi menjadi ahli kariah masjid di kawasan itu. Pembatalan juga boleh berlaku ke atas mana-mana pegawai masjid dan surau sekiranya, saya bacakan Datuk Speaker, dia disabitkan dengan kesalahan jenayah, ataupun berkelakuan sama ada berkaitan dengan kewajipannya sebagai jawatankuasa masjid yang boleh memburukkan nama majlis, jabatan dan masjid itu sendiri, ataupun diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah di Malaysia. Dia juga mungkin boleh ditamatkan, juga dibatalkan jawatannya sekiranya tidak berupaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai jawatankuasa masjid, mengingkari ataupun melanggar mana-mana arahan pihak berkuasa, tidak menghadiri tiga kali mesyuarat dan juga tidak melaksanakan tugas-tugasnya seperti mana di bawah Enakmen.

Datuk Speaker, Yang Berhormat Kempas mencadangkan agar dilakukan pemerkasaan terhadap modul Kursus Pra Perkahwinan dari segi kesihatan mental kepada bakal pengantin. Suka saya mengulas bahawa ketika ini, di dalam modul bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam sudah terdapat beberapa tajuk khusus yang membantu memberikan panduan kepada pasangan suami isteri khususnya di dalam permasalahan konflik rumah tangga. Misalnya, tajuk modul Pengurusan Stres dan Konflik, telah diberikan tumpuan bagaimana cara untuk menguruskan tekanan mahupun stres dalam perkahwinan. Datuk Speaker, saya mohon seminit sahaja lagi.

Di akhir sesi penggulungan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sehingga berakhirnya sesi penggulungan pada hari ini. Saya mohon Yang Berhormat Datuk Speaker, supaya kedatangan bulan Ramadan yang baik ini, di sambut dengan penuh kegembiraan oleh kita semua umat Islam. Saya petik sabda Rasulullah SAW, dalam riwayat Al-Bukhari, dalam hadis yang ke-1,896, Nabi bersabda, Muhammad SAW bahawa ‘di syurga nanti ada sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan yang kelak pada hari kiamat akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa.’ Maka jalanilah ibadah puasa dengan penuh kesabaran dan penuh ketabahan.

Tiga pantun Datuk Speaker. Jemput datang tuan puan, jemput mari makan bersama, selamat datang bulan Ramadan, bulan ibadah untuk semua. Kopi tenggek di Kota Tinggi, kopi Kluang tepi landasan, esok jangan sarapan pagi, kalau di tangkap jangan buat-buat pengsan. Kuih koci di beli orang, di jual gadis bertudung bawal, solat tarawih jemputlah datang, zakat fitrah bayarlah awal. Terima kasih, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Semerah. Insya-Allah, tak sarapan pagi esok kita. Di jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dipersilakan.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-15. Pertamanya, patik ingin menjunjung kasih dipersembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-marhum Sultan Iskandar di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Di kesempatan ini juga, patik ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-marhum Sultan Iskandar sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Saya juga ingin menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap mangsa-mangsa yang terkesan dan menerima impak yang mendalam dari bencana banjir yang telah melanda negeri Johor pada hujung Februari yang lalu. Syabas saya ucapkan kepada Pejabat Daerah, agensi-agensi kerajaan, di antaranya Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Southern Volunteers dan sebagainya, sangat komited serta bertungkus lumus dalam menangani situasi banjir yang cukup getir pada kali ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, patik Merafak Sembah Takzim Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofea binti Almarhum Sultan Idris Shah dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleda binti Bustamam yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal berkaitan kanak-kanak, khususnya negeri Johor. Kerajaan negeri Johor melalui portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa berusaha dalam memastikan kanak-kanak yang juga merupakan golongan rentan sentiasa terbela. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa mengambil berat titah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar dan akan terus berperanan aktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Perundangan Negeri, penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Komuniti dan masyarakat setempat yang dititik beratkan.

Terima kasih Yang Berhormat Penawar atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap isu kanak-kanak. Suka ingin saya kongsikan di antara inisiatif kerajaan negeri Johor bagi menangani isu ini adalah, pertama, Pembangunan Modul Lindungi Permata Johor. Kerajaan negeri Johor merupakan antara negeri pertama dalam Malaysia yang membangunkan sendiri modul khas bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan kes kanak-kanak. Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia telah membangunkan Modul Lindungi Permata Johor dengan peruntukan dana sebanyak RM86,600.00. Modul Lindungi Permata Johor ini dibangunkan dengan komprehensif dan efektif bagi individu dan sukarelawan yang mengendalikan kes perlindungan kanak-kanak dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mengendalikan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemeliharaan. Dalam kalangan individu sukarelawan dan pertubuhan yang bekerja dengan kanak-kanak. Modul ini terdiri daripada 6 komponen iaitu Motivasi, Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Perundangan dan Advokasi Berkaitan Kanak-Kanak, Kanak-kanak dan Multi Budayanya, Kemahiran Mengakses Kanak-Kanak, Kemahiran Membantu Kanak-Kanak. Inisiatif kedua adalah Program Pasukan Sokongan Kanak-Kanak atau Child Support Team Negeri Johor. Kerajaan negeri Johor dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai perintis telah mewujud satu inisiatif untuk mengukuhkan lagi tahap perlindungan kanak-kanak. Menerusi program sokongan kanak-kanak yang dilatih untuk menggunakan Modul Lindungi Permata Johor. Objektif program ini adalah, pertama memberi latihan kepada individu atau sukarelawan yang bekerja dengan kanak-kanak agar dapat meningkatkan kemahiran pengetahuan dan komited dalam membantu dan menguruskan kanak-kanak yang memerlukan bantuan serta perlindungan.

Program ini juga berfokus untuk meningkatkan tanggungjawab komunti dalam memastikan persekitaran yang selamat dan kondusif pada kanak-kanak. Seramai 300 orang pasukan sokongan kanak-kanak atau Child Support Team negeri Johor akan mula dilatih pada tahun 2023 ini yang terdiri daripada pertama, pembantu pelindung di bawah Seksyen 8A Akta Kanak-Kanak. Pembantu, pasukan kebajikan kanak-kanak di bawah Seksyen 7A Akta

Kanak-Kanak. Pasukan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 7, Akta Kanak-Kanak. Sukarelawan JKM, pengasuh taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Pengendali Pusat Jagaan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. Penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung seluruh negeri Johor, Pemimpin-pemimpin tempatan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Negeri Johor. Pasukan sokongan ini akan di latih melalui lapan siri bengkel sepanjang tahun 2023.

Inisiatif ketiga adalah Naziran dan Penarafan Bintang Pusat Jagaan Kanak-Kanak dengan izin, Star Rating Negeri Johor. Kerajaan negeri Johor juga melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor dengan kolaborasi strategik bersama Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi pengurusan proses pendaftaran dan pemantauan dilaksanakan terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar. Tujuan penaziran dan penarafan ini adalah untuk memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar patuh pada standard minima yang ditetapkan oleh Akta Pusat Jagaan 1993 dan peraturan-peraturan pusat jagaan kanak-kanak. Program penarafan bintang ini akan dilaksanakan terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dalam negeri Johor dan akan dilaksanakan setiap tahun bermula tahun 2023.

Inisiatif keempat adalah Taskforce Pendaftaran Taska dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Negeri Johor. Semua taman asuhan kanak-kanak hendaklah didaftarkan di bawah akta taman asuhan kanak-kanak dan semua pusat jagaan kanak-kanak didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. Satu pasukan petugas khas memberi notis kepada semua pengusaha taska dalam bentuk amaran untuk mendaftarkan taska tersebut dalam tempoh tiga bulan kegagalan berbuat demikian membolehkan kerajaan menguatkuasakan tindakan terhadap pengusaha yang tidak mematuhi akta dan peraturan dengan menyelak atau seal dengan izin, kompaun dan pendakwaan seperti yang termaktub dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Inisiatif kelima iaitu Subsidi Yuran Pengasuhan Taska Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat cakna dengan isu ibu tunggal dan wanita bekerja yang mempunyai anak yang masih kecil. Justeru Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyediakan Bantuan Subsidi Yuran Pengasuhan Kanak-kanak Taska bermula tahun 2014. Tujuan utama subsidi ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk menampung kos yuran pengasuhan anak, memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat asuhan dan didikan di taska dan seterusnya menyumbang ke arah perkembangan menyeluruh kanak-kanak yang berkualiti sihat dan seimbang. Kadar minimum, kadar maksimum subsidi yuran itu adalah sebanyak RM180.00 sebulan bagi seorang kanak-kanak namun jika yuran kanak-kanak itu lebih tinggi dari kadar subsidi, lebihan yuran adalah di bawah tanggungan ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Inisiatif keenam, Insentif Yuran Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata. Kerajaan negeri Johor juga telah melaksanakan inisiatif ini dengan memberikan insentif yuran khusus asuhan dan didikan awal kanak-kanak permata kepada 200 orang pengasuh di taska berdaftar dalam negeri Johor. Kerajaan negeri Johor juga telah memperuntukkan sebanyak RM180,000.00 dalam usaha memperkasa perlindungan sosial dan pembudayaan modal insan seperti yang di umumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan Bajet 2023. Inisiatif ini dapat meningkatkan jumlah pengasuh taska yang bertauliah dan memenuhi kehendak Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2021.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Raja, Yang Berhormat Gambir, Yang Berhormat Sedili, Yang Berhormat Tiram atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap kelewatan membekal makanan di Pusat Pemindahan Sementara dan kualiti makanan yang kurang memuaskan serta tidak sepadan dengan nilai kontrak yang ditawarkan. Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan

Kebajikan Masyarakat menyambut baik cadangan-cadangan penyediaan makanan secara gotong royong di PPS bagi mengatasi isu kelewatan membekal makanan. Dalam hal ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menyediakan makanan secara gotong royong di PPS dengan meletakkan syarat-syarat tertentu. Dengan kaedah penyediaan makanan secara gotong royong di harapkan isu kelewatan dan kualiti makanan dapat diatasi pada masa-masa akan datang. Beberapa langkah segera telah diambil untuk memastikan permasalahan-permasalahan yang ada tidak berulang seperti membenarkan operasi memasak di mana Pusat Pemindahan Sementara yang bersesuaian mengikut kelulusan Pengerusi Jawatankuasa Bencana. Mengemaskini dan mengambil, menambah baik jadual penghantaran makanan yang standard ke PPS sekiranya di bekalkan oleh pembekal. Pemantauan secara khusus di buat bagi memastikan kualiti terjamin oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga Jabatan Kebajikan Masyarakat menyambut baik cadangan semakan semula kadar siling makanan mangsa bencana di PPS bagi mengatasi isu makanan yang tidak berkualiti. Untuk makluman kadar siling makan, minum mangsa dan petugas PPS pada tahun 2017 adalah sebanyak RM15.00 sehari. Namun kadar siling ini telah dinaikkan kepada RM25.00 sehari mulai Januari 2021 hingga kini. Memandangkan juga harga barang yang semakin meningkat kos penyediaan makanan juga meningkat. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya kadar siling makan, minum mangsa di PPS disemak semula. Cadangan ini diharap dapat mengatasi isu makanan di PPS pada masa akan datang.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Endau atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sukarelawan Home Help Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sangat menggalakkan ahli masyarakat untuk menjadi ahli sukarelawan JKM yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam kerja kemasyarakatan dan memupuk semangat tolong menolong dan budaya ikram sejajar dengan dasar kebajikan masyarakat. Dalam keadaan banjir yang berlaku baru-baru ini sukarelawan JKM yang bertugas di Pusat Pemindahan Sementara PPS telah bertugas secara sukarela tanpa menerima sebarang elaun dari JKM kerana pihak jabatan tidak menerima sebarang peruntukan untuk membayar elaun kepada mereka namun perkara ini telah dijelaskan kepada semua sukarelawan JKM sebelum mereka mendaftar sebagai sukarelawan JKM.

Terima kasih Yang Berhormat Bentayan, program PDK di tumpukan kepada OKU yang memerlukan pemulihan dan latihan asas dari segi pergerakan pertuturan pendidikan khas dan kemahiran dalam aktiviti kehidupan harian. Program ini dibuka kepada OKU dari semua kategori ketidak upayaan dan semua peringkat umur. Sehingga Februari 2023 terdapat seramai 2,371 pelatih OKU sedang menjalani aktiviti pemulihan di 73 buah PDK seluruh negeri Johor. Kehadiran OKU ke PDK adalah dasar sukarela tanpa paksaan. Pengurangan kehadiran pelatih mungkin disebabkan oleh kekangan yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun jabatan juga giat menjalankan promosi bagi menggalakkan penjaga OKU untuk menghantar OKU ke PDK untuk mendapatkan pelbagai manfaat dalam program ini. OKU yang hadir ke PDK akan mendapat elaun khas OKU sebanyak RM150.00 sebagai insentif di samping dapat mempelajari kemahiran untuk mengurus diri, mengurangkan kebergantungan dan menjana pendapatan tambahan untuk keluarga. Selain itu bagi melancarkan operasi di PDK ini kerajaan menyediakan bantuan kewangan termasuk elaun kepada penyelia, petugas, bayaran utiliti dan sewaan bangunan PDK ini. Hal ini berbeza dengan bantuan kewangan yang disediakan diberikan kepada Skim OKU Tidak Berupaya Bekerja di mana bantuan kewangan sebanyak RM300.00 diberikan kepada OKU yang berumur 16 tahun ke atas yang telah disahkan oleh pegawai perubatan yang tidak berupaya untuk bekerja.

Terima kasih Yang Berhormat Senggarang, Yang Berhormat Pekan Nanas yang menyatakan tentang elaun penyelia, petugas yang berada di PPS. Kerajaan negeri Johor telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan pada penyelia, petugas dan pelatih PPDK negeri Johor. Pada Bajet 2021 kerajaan persekutuan telah mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia, petugas PDK. Sehubungan itu mulai Mac kadar sagu hati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan dari RM1,200.00 kepada RM1,500.00. Sementara elaun yang diterima oleh petugas adalah sebanyak RM1,200.00 berbanding dengan RM800.00 sebelum ini. Dimaklumkan juga negeri Johor mulai 2015, setiap penyelia dan petugas menerima elaun tambahan dari kerajaan negeri Johor sebanyak RM200.00 sebulan bagi setiap penyelia dan petugas. Oleh itu, jumlah elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,700.00 sebulan dan petugas adalah sebanyak RM1,400.00 sebulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, PDK-PDK di negeri Johor ini adalah di antara PDK-PDK yang bertuah dan istimewa kerana setiap petugas dan penyelia menerima bantuan khas kewangan iaitu bonus tahunan mengikut pengumuman oleh kerajaan negeri Johor setiap tahun berbanding dengan negeri-negeri lain. Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani yang mengutarakan infrastruktur KPDK Parit Yaani. Kerajaan negeri Johor telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, peruntukan bantuan kepada pengoperasian dan premis PKPDK negeri Johor setiap tahun. Berikutan bencana banjir yang berlaku ketika ini, beberapa buah PDK-PDK di negeri Johor telah terjejas banjir mengalami masalah yang sama dan kerosakan harta benda terutamanya bangunan, peralatan, dokumentasi dan bahan mengajar. Pihak PDK boleh mengemukakan permohonan pembaikan bangunan jika mengalami kerosakan teruk yang perlu dibaiki kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, PDK ini terletak di bawah Akta Pertubuhan dan pengurusan setiap PDK berdasarkan, berkonsepkan dengan izin comunity base termasuk di tempat-tempat Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, alangkah baiknya jika Ahli-Ahli Yang Berhormat juga turut serta membantu PDK-PDK tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah sahaja yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan melibatkan jabatan di bawah portfolio Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Walau bagaimanapun sekiranya terdapat persoalan berbangkit yang saya tidak sempat nak menjawab, pejabat saya akan memeberikan jawapan bertulis kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan, ketua jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dalam segala tugas yang dipertanggungjawabkan. Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1444 Hijrah. Semoga ibadah puasa kita mendapat redha Allah SWT. Kebajikan adalah tanggung jawab kita bersama. Sebelum saya mengakhiri penggulungan pada pagi ini, izinkan saya mendengarkan serangkap pantun dalam Dewan yang mulia ini. Bangsa Johor berbudi pekerti, berbilang kaum kekal makmur, marilah kita menabur budi, demi kemajuan negeri Johor. Sekian, Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Serom. Selanjutnya dijemput Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirahmairahim. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Salam Bangsa Johor dan salam Maju Johor. Di ruang dan kesempatan ini, patik Merafak Sembah dengan ucapan setinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim

Sempena Hari Keputeraan Baginda, 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadan 1444 Hijrah, semoga Allah lanjutkan usia Tuanku. Daulat Tuanku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memulakan ucapan ini dengan merafak sembah dan menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, mencemar duli berangkat dan seterusnya bertitah menyempurnakan Majlis Pembukaan Sidang DUN kali ini. Dengan mengambil muhasabah diri ke atas titah Tuanku demi perjuangan untuk rakyat jelata di seluruh pelusuk Johor.

Intipati titah Tuanku jelas menggambarkan betapa pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memenuhi aspirasi rakyat dan membawa Johor ke persada dunia sekali gus memancarkan iltizam pimpinan kita untuk mengangkat kehidupan rakyat sejagat khususnya Bangsa Johor, menjadi sebahagian komuniti dunia yang terhebat. Menginsafi titah Tuanku, patik menjunjung titah Tuanku melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi negeri Johor yagn dicintai. Menjunjung kasih ke atas titah Tuanku berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini yang telah mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang melibatkan bidang kuasa perumahan dan kerajaan tempatan. Bagi pihak perumahan dan kerajaan tempatan saya sememangnya amat mengalu-alukan pandangan, cadangan, teguran juga kerjasama daripada rakan-rakan Yang Berhormat sama ada daripada pihak kerajaan mahu pun pihak pengimbang. Saya sentiasa memastikan ke semua perkara yang telah dibangkitkan, diteliti oleh ketua-ketua jabatan di bawah portfolio saya untuk diambil tindakan sewajarnya. Tanah jauhar masyhur berzaman, telah terpatri sekian lama, agenda rakyat jadi keutamaan, maju makmur kita bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya akan menjawab isu yang dibangkitkan dalam sesi pergulungan berdasarkan portfolio saya iaitu yang pertama, kerajaan tempatan dan yang kedua, perumahan. Untuk makluman Ahli Sidang Dewan yang dihormati, Kebenaran Merancang atau KM adalah merupakan kelulusan secara bertulis yang diberikan di bawah peruntukan Seksyen 19 (1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, Akta 172 di mana setiap pemajuan yang hendak dimulakan, perlulah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang terlebih dahulu daripada pihak perancangan tempatan. Kebenaran Merancang digunakan sebagai alat kawalan bagi memastikan setiap pemajuan yang dilaksanakan mematuhi keperluan dan kehendak agensi-agensi teknikal seterusnya mewujudkan persekitaran yang terancang, kondusif dan mampan.

Bagi melaksankaan hasrat ini, PLAN Malaysia Johor bersama penglibatan agensi teknikal dan PBT telah pun menyediakan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Tanah Tinggi Negeri Johor. Garis panduan ini telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri bil. 02/2022 bertarikh 25 Ogos 2022. Garis panduan yang disediakan ini merupakan salah satu dokumen atau intrumen penting kepada Majlis semasa mempertimbangkan Permohonan Kebenaran Merancang yang melibatkan pemajuan di kawasan berbukit, tanah tinggi, lereng dan puncak bukit serta kawasan sekitarnya. Sebagaimana titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, untuk mengekalkan potografi muka bumi bagi setiap pembangunan di kawasan berbukit dan tanah tinggi. Sekiranya terdapat cadangan pemajuan oleh pihak pemaju di kawasan cerun dan tanah tinggi, perlulah mematuhi Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Tanah Tinggi 2009 yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Garis Panduan Reka Bentuk Cerun 2010 yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Sekiranya cadangan pembangunan oleh pemaju tidak bersesuaian untuk pembangunan, PBT berhak untuk mengenakan syarat-syarat tertentu atau menolak permohonan tersebut. Ciri-ciri potografi hendaklah dipelihara tanpa menjejaskan kestabilan dan keseimbangan

semula jadi tanah, pemaju hendaklah mengekalkan potografi asal tanah seberapa yang boleh. Sebarang pemotongan bukit hendaklah dilaksanakan pada kadar yang minimum dan hanya boleh dibenarkan bagi tujuan penyediaan infrastruktur seperti jalan dan pembinaan infrastruktur yang terbabit sahaja. Ini bererti bahawa, tindakan pemotongan bukit bagi tujuan meratakan permukaan keseluruhan tapak pembangunan adalah tidak dibenarkan.

Kelulusan Kebenaran Merancang atau KM pembangunan dengan menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal. Di samping itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga bertitah agar setiap permohonan Kebenaran Merancang atau KM bagi setiap pembangunan pada masa akan datang untuk menyediakan laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal. PLAN Malaysia telah menerbitkan lima Panduan Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau, panduan pelaksanaan yang terdiri daripada:-

1. Penyediaan laluan pejalan kaki. 2. Penyediaan laluan basikal. 3. Sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan. 4. Program pengkomposan sisa 5. Pembangunan kebun kejiranan.

Tujuan utama garis panduan ini adalah untuk memelihara alam sekitar, mengurangkan tapak ekologi dan pelepasan karbon, meningkatkan kesihatan awam keselamatan serta kebajikan komoditi sedia ada. Beberapa PBT telah mengguna pakai Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau Sejak pengwujudan panduan ini. Salah satu langkah yang telah digariskan adalah mereka bentuk persekitaran fizikal dengan penghasilan laluan pejalan kaki dan jalan bermotor. Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri telah membangunkan garis panduan tersebut melalui PLAN Malaysia dan seterusnya akan diselaraskan di semua PBT.

Hotspot banjir. Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan yang dihormati, saya berdukacita di atas ujian bencana banjir yang melibatkan hampir 50,000 mangsa di seluruh pelusuk negeri, yang menjadi sejarah antara salah satu bencana terburuk yang melanda negeri Johor. Speaker, minta minum air.

Antara faktor yang menyumbang kepada bencana alam ini adalah perubahan iklim global dan juga peningkatan projek pembangunan yang sedang pesat. PBT negeri Johor akan terus komited dalam setiap pembangunan di dalam kawasan PBT terkawal dan tidak memburukkan lagi krisis ini. Satu mesyuarat penyelarasan hotspot banjir telah dijalankan sebanyak 3 kali pertemuan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Hafiz bin Haji Ahmad yang disertai oleh Datuk Bandar Johor Bahru dan Datuk Bandar Pasir Gudang dan Yang DiPertua-Yang DiPertua PBT, Ahli Majlis bagi mengenal pasti isu dan punca masalah. Cadangan penambahbaikan dan agihan peruntukan bagi pengurusan hotspot banjir kilat di negeri Johor.

Pelan tindakan kawalan banjir bagi jangka pendek dan jangka panjang telah diwujudkan dan diselarasakan di PBT yang berkenaan. Dalam Ucapan Belanjawan 2023 oleh Yang Berhormat Menteri Besar Johor menyatakan inisiatif penyelenggaran sungai dan saliran sebanyak RM71 juta telah diperuntukkan yang mana RM62 juta telah diperuntukkan oleh PBT di negeri Johor bagi tujuan pengurusan berkaitan banjir dan penyelenggaraan saliran.

Isu penjaja tepi jalan. Pelbagai usaha PBT dengan kerjasama kerajaan negeri Johor telah dilakukan untuk membantu penjaja-penjaja antaranya ialah memudahkan permohonan lesen dengan mengurangkan jumlah dokumen, menyeragamkan format di semua PBT Johor, tempoh kelulusan yang singkat dan pengurangan syarat permohonan daripada 13 kepada 3 syarat sahaja, membenarkan penjaja berniaga di hadapan rumah dan mengelakkan risiko

keselamatan, mengwujudkan pusat penempatan penjaja berkelompok, memperbanyakkan lokasi perniagaan, tapak, petak, kiosk dan food truck.

Yang Berhormat Datuk Speaker sehingga bulan Mac 2023 sebanyak 103 pusat penempatan penjaja berkelompok telah diwujudkan. Untuk mngelakkan risiko keselamatan dan kacau ganggu di semua PBT dalam negeri Johor. Pusat penempatan penjaja ini telah menyediakan 2,501 jumlah tapak dan hanya 1,671 penjaja yang mendaftar di PBT negeri Johor mengikut kawasan PBT masing-masing. PBT disarankan untuk menawarkan baki petak penjaja kepada golongan B40 yang meniaga di tepi jalan, selain itu keprihatinan dan ihsan PBT terhadap golongan ini perlu diberi pertimbangan untuk dibenarkan beroperasi demi kelangsungan hidup. Daun nipah kajangnya rapat, hidang tetamu di pekan Pontian, kita semua berjiwa rakyat, santunilah dengan sifat ihsan. (Batuk)

Yang Berhormat Datuk Speaker, perumahan. Umum mengetahui bahawa sebilangan besar pembangunan komponen Rumah Mampu Milik yang dimajukan oleh pemaju swasta selain itu pembangunan ini turut disediakan oleh GLC negeri Johor. Bila sebut Rumah Mampu Milik (RMMJ) harganya adalah di bawah RM150,000.00, RM100,000.00 dan RM50,000.00. Mengikut dasar yang berkuatkuasa setiap pembangunan perlu menyediakan 40% rumah mampu milik mana kala baki 60% lagi mengandungi pelbagai jenis komponen pembangunan bercampur. Konsep ini telah lama dipraktiskan di dalam mana-mana kelulusan pembangunan.

Untuk makluman Datuk Speaker, kerajaan negeri telah mensasarkan sebanyak 21,139 unit rumah mampu milik yang perlu disiapkan sehingga tahun 2026. Dengan daripada angka tersebut KPI kerajaan negeri menetapkan 2,459 unit perlu disiapkan pada tahun lepas yaini tahun 2022. Sukacita diimaklumkan bahawa tahun 2022 menyaksikan sebanyak 5,161 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan oleh pihak pemaju swasta, GLC negeri Johor dan kerajaan persekutuan. Daripada jumlah ini sebanyak 2,044 unit berhargaa di bawah RM50,000.00, 238 berharga di bawah RM100,000.00, 2,254 berharga di bawah RM150,000.00 dan 625 unit berharga di bawah RM300,000.00 yang telah berjaya disiapkan. Angka ini telah menunjukkan bahawa pencapaian kerajaan KPI negeri pada tahun 2022 adalah melebihi sasaran, dengan peratusan sebanyak 209%. Kerajaan negeri amat memahami keperluan semua ADUN untuk memastikan rumah mampu milik dapat disediakan di kawasan masing-masing. Namun pembangunan rumah mampu milik ini bukanlah suatu yang mudah, ia memerlukan peruntukan yang besar bagi pembinaan tersebut. Alhamdulillah penubuhan PDRC telah berjaya mengikat komitmen dan menetapkan garis masa pembangunan daripada pihak pemaju untuk menyelesaikan pembinaan rumah mampu milik sebanyak 12,518 unit sehingga tahun 2026 melibatkan 68 projek, 25 pemaju, 9 daerah iaitu daerah Johor Bahru, Kulai, Segamat, Muar, Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi, Pontian dan Kluang di dalam 10 kawasan PBT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, PPR baharu negeri Johor. Seperti saya nyatakan di awal tadi, sebilangan besar pembangunan komponen rumah mampu milik ini dimajukan oleh pemaju swata, di mana idea asalnya keuntungan daripada pembangunan komponen rumah mahal akan digunakan oleh pemaju bagi tujuan untuk menampung kos pembinaan rumah mampu milik. Konsep inilah disebut sebagai subsidi bersilang atau dengan izin, cross subsidy. Selain itu kerajaan negeri juga turut memohon kepada kerajaan persekutuan bagi pembinaan rumah Perumahan Rakyat PPR di bawah RMK-11, Rolling Plan-3, RMK-12 Rolling Plan-3 dan Rolling Plan 4. Berita baik kepada rakyat Johor, alhamdulillah dengan izin Allah, Johor akan menerima 3 projek PPR yang baharu iaitu di Kluang, Larkin dan Kulai. Tiga projek PPR ini akan dilaksanakan proses kajian nilai, kajian kejuruteraan dan semakan nilai oleh pihak KPKT bagi memperincikan skop, kos pembangunan bagi tujuan penyediaan dokumen tender pada tahun ini.

Timbalan Speaker

Masa Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bukan itu sahaja kerajaan negeri melalui PKPJ juga telah mengenal pasti untuk dimajukan bagi pihak KPKT bagi pembinaan PPR di kawasan Parlimen Ledang. Kami dan rakyat Johor mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Menteri dan Timbalan Menteri KPKT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berita baik kepada golongan e-Kasih Johor. Kerajaan negeri amat menitikberatkan keperluan menyediakan kediaman rumah bersesuaian dengan keperluan sasar terendah iaitu B40 kebanyakan adalah rakyat Johor yang dikategorikan miskin bandar yang berdaftar dengan e-Kasih. Insya-Allah, pembinaan 50 rumah ini adalah untuk golongan miskin bandar, miskin tegar yang mempunyai pemilikan tanah sama ada secara tunggal, secara bersama dan dibina di atas tanah mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak item tetapi saya habiskanlah, sikit saja lagi. Projek sakit dan terbengkalai. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan sentiasa memberi perhatian berkaitan isu-isu melibatkan projek-projek yang mengalami masalah. Berdasarkan rekod yang diperolehi daripada KPKT sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 33 projek sakit dan 8 projek terbengkalai di senarai di seluruh negeri Johor. Pihak Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Jabatan Perumahan Negeri Johor dan ini bukanlah di bawah kuasa bidang kerajaan negeri. Namun, Yang Berhormat Menteri Besar selalu ingatkan saya bahawa pembeli-pembeli yang terlibat dengan isu berkaitan projek sakit dan terbengkalai ini adalah rakyat Johor dan Bangsa Johor. Oleh yang demikian, intimasi kerajaan negeri adalah amat penting dalam menyelesaikan isu yang membelenggu rakyat negeri Johor. Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pemaju-pemaju yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Yang akhir Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menginsafi bahawa memegang amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah suatu amanah yang cukup besar. Menghampiri tempoh setahun mengangkat sumpah sebagai EXCO, saya amat bersyukur dikurniakan pemimpin seperti Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz bin Ghazi dan cukup bijaksana menyelesaikan segala pemasalahan terbuka dengan pandangan, sentiasa tenang menghadapi segala cabaran dan tohmahan, terima kasih Yang Berhormat kerana dalam apa jua keadaan negeri Johor sentiasa menjadi keutamaan. Di ruang dan kesempatan ini juga saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor atas nasihat, pandangan dan teguran. Jutaan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Salehuddin bin Haji Hassan, Pegawai Kewangan Negeri Johor atas segala bantuan dan terima kasih kerana memudahkan segala urusan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Amir Nasruddin, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor yang sentiasa mengemukakan idea dan nasihat tidak lupa juga kepada sahabat-sahabat EXCO Negeri Johor, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang di sana dan di sini yang sentiasa cakna isu berkaitan Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Saya juga bersyukur dikurniakan pasukan cemerlang iaitu PKPJ yang diketuai oleh Datin Paduka Dr. Suhailizan binti Suliman, pasukan SUKT dulu yang diketuai Encik Mohd. Farid dan terkini oleh Encik Fizwan bin Dato’ Haji Mohd Rashidi, keduanya sama bagus.

Pasukan Plan Malaysia Johor yang diketuai oleh Tuan Town Planner TPr Saidin bin Latih dan pasukannya, Datuk-Datuk Bandar, Yang Berhormat Dato’ Mohd Noorazam bin Haji Osman, Datuk Bandar MBJB, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Yang Berhormat Dato’ Asman Shah bin Abd Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan tuan, puan YDP PBT-PBT, SU, Ketua Whip, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan, seluruh kakitangan di bawah pentadbiran saya yang sangat komited dalam memastikan segala urusan demi rakyat terlaksana dengan sempurna. Terima kasih juga kepada semua agensi kerajaan, agensi

persekutuan dan semua yang sentiasa membantu dalam menyelesaikan segala masalah. Semoga komitmen dan kerjasama ini akan terus jitu dan padu. Saya amat yakin dan percaya dalam langkah perjalanan kita untuk bergerak maju ke arah maju Johor, kita semua selaku Wakil Rakyat perlu terus beristikamah serta mengambil iktibar dan ikhtiar berpayung paksi dari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, setiap Wakil Rakyat wajar untuk bermuhasabah diri kerana perjuangan kita tiada titik nokhtahnya dan tiada batas sempadan kaum apa lagi agama.

Akhir kata saya mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap sesungguhnya saya dan pasukan saya manusia biasa tidak lari daripada membuat kesilapan. Semoga Allah kurniakan pahala yang banyak atas segala usaha kita dan mengampunkan dosa-dosa kita atas keterlanjuran khilaf kepada Maha Pencipta sesama hamba. Selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak. Sekian wabillahitaufik walhidayah assalammualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai, dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

Dato’’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Pertamanya patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-15.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Kukup, Sri Medan, Layang-Layang, Parit Raja, Penggaram, Panti, Tenang, Endau, Sungai Balang, Bukit Batu, Parit Yaani, Pulai Sebatang, Pemanis, Pekan Nanas, Sedili, Kempas, Maharani, Tiram dan Ahli Dewan yang lain yang menyentuh dan membangkitkan isu-isu berkaitan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar dalam negeri Johor termasuk cadangan-cadangan yang dilontarkan. Rata-rata Ahli Dewan juga telah membangkitkan mengenai isu banjir yang melanda negeri ini. Di kesempatan ini saya ingin menzahirkan rasa simpati dan berdukacita terhadap apa yang berlaku terutama kepada mangsa-mangsa banjir. Semoga terus tabah dan akan ujian yang menimpa dan dipermudahkan segala urusan ketika pasca banjir nanti, insya-Allah.

Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor atas komitmen yang tinggi sentiasa memantau tindakan dan penyelarasan kami di barisan EXCO mengenai perkara-perkara berkaitan pengurusan bencana banjir ketika ini. Terima kasih juga kepada agensi-agensi kerajaan, kepimpinan setempat, ketua kampung, NGO, sukarelawan dan orang ramai termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banjir yang melanda negeri Johor turut memberi impak kepada aktiviti sektor pertanian dan industri agro makanan. Berdasarkan dapatan awal daripada jabatan dan agensi di bawah sektor pertanian, sehingga setakat ini seramai 4,862 orang telah terkesan dan melibatkan anggaran kerugian bernilai RM35,524,600.00. Ianya termasuklah usahawan-usahawan tani daripada pelbagai sub sektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri asas tani bimbingan jabatan-jabatan di bawah portfolio sektor pertanian. Agensi-agensi di bawah portfolio Kemajuan Luar Bandar juga turut terkesan dan melapurkan kesan akibat bencana ini. Antaranya melibatkan impak kepada premis-premis

dan kerosakan infrastruktur dan sebagainya oleh agensi-agensi seperti FELCRA, FELDA, KEMAS, JAKOA, MARA dan RISDA. Keseluruhannya di bawah Kemajuan Luar Bandar anggaran nilai kerugian dan kerosakan berjumlah RM39,754,822.28. Makluman ini telah turut dimajukan kepada agensi masing-masing di peringkat persekutuan untuk perhatian dan tindakan.

Yang Berhormat Sri Medan, Layang-Layang, Parit Raja, Penggaram, Panti, Tenang, Parit Yaani, Kemelah dan Bukit Batu telah membangkitkan bantuan-bantuan pasca banjir bagi pengusaha-pengusaha sektor agro makanan yang terjejas. Sebagaimana yang telah saya ketengahkan semasa menjawab soalan lisan Yang Berhormat Parit Raja kelmarin, kerajaan bersama jabatan dan agensi akan sedaya upaya membantu pengusaha-pengusaha sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani yang terjejas bencana banjir menerusi pelbagai insentif dan peruntukan sedia ada. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak jabatan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan sebagainya telah bertindak awal bagi membantu pengusaha-pengusaha yang terjejas banjir. Jabatan Perkhidmatan Veterinar misalnya telah membantu memindahkan ternakan ke penempatan sementara yang lebih selamat, agihan makanan ternakan, vitamin anti stress, garam, khidmat nasihat dan pemantauan di sekitar kawasan banjir. Ketika ini jabatan-jabatan di daerah sedang giat melaksanakan bancian dan siasatan awal kelapangan terhadap petani, penternak dan pengusaha industri asas tani yang terlibat mengikut prosedur operasi standard atau SOP yang telah digariskan oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan bagi tujuan permohonan bantuan bencana.

Untuk makluman Yang Berhormat Tenang, bagi tujuan pelaporan dan pembuktian permohonan bantuan di bawah Tabung Bencana, gambar kejadian selepas bencana adalah salah satu dokumen penting bagi Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Teknikal Dan Induk Tabung Bencana mempertimbang dan meluluskan permohonan selain untuk kegunaan pihak audit. Kesimpulannya bagi prosedur permohonan bantuan bencana Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, petani hanya perlu melengkapkan borang permohonan yakni Borang C yang telah diperakukan oleh Penghulu dan Ketua Kampung dan Pegawai Pertanian Daerah, menyediakan gambar kesan bencana berserta Laporan Polis.

Untuk makluman Ahli Dewan dan Yang Berhormat Bukit Batu pula, bantuan bencana tanaman yang diberikan adalah berbentuk perolehan bahan input ternakan termasuk baja dan kapur, anak pokok dan benih tanaman, alatan atau mesin pertanian, peralatan fertigasi, dan input-input pertanian yang bersesuaian dengan petani.

Yang Berhormat Tenang juga membangkitkan perkara mengenai tempoh masa permohonan program tanaman cili dan halia yang agak singkat. Untuk makluman Yang Berhormat pada tahun 2023, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah diperuntukkan sebanyak RM3.7 juta peruntukan negeri dan persekutuan yang melibatkan 6 projek sebagai insentif yang boleh dipohon oleh pengusaha bagi tanaman cili dan halia di seluruh negeri Johor. Berikutan daripada SSR atau kadar sara diri, kedua-dua tanaman ini yang masih rendah iaitu 29.3% bagi tanaman cili manakala 14.6% bagi tanaman halia. Kedua-dua komoditi ini telah menjadi tanaman tumpuan utama negara masa kini. Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kadar SSR tanaman ini, sekali gus dapat memperkukuhkan sekuriti makanan negara, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan telah meluluskan peruntukan tambahan melalui projek baharu iaitu Projek Peningkatan Tarap Sara Hidup (SSR), sayuran terpilih untuk komoditi cili dan halia pada Februari 2023.

Menerusi projek ini Jabatan Pertanian Negeri Johor telah diperuntukkan sebanyak RM575,000.00 sebagai tambahan kepada projek sedia ada. Memandangkan projek ini projek baharu, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah mengambil inisiatif dengan menyediakan poster projek dan dimuat naik dalam media sosial Jabatan Pertanian Negeri Johor serta ditampal di pejabat-pejabat pertanian daerah. Ini adalah untuk memastikan

hebahan dan promosi dapat dibuat secara holistik kepada golongan sasar. Memang diakui ia menetapkan tarikh iklan yang singkat. Ini kerana ia projek baharu yang perlu dipastikan proses perolehan dapat dibuat bersekali dengan peruntukan pembangunan sedia ada.

Walaupun tarikh tutup penyertaan projek ini dalam tempoh yang singkat, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah menerima 103 permohonan dan daripada 103 permohonan ini seramai 31 orang usahawan melibatkan 46 hektar dari semua daerah negeri Johor telah diperaku untuk menerima insentif di bawah projek ini. Baki 72 permohonan lagi akan disalurkan melalui lain-lain insentif projek pembangunan pertanian di bawah Jabatan Pertanian yang bersesuaian. Bagi yang terlepas untuk memohon, mereka masih boleh membuat permohonan untuk -projek projek sedia ada pada bila-bila masa kerana permohonan sedia ada terbuka sepanjang tahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Endau pula telah menyentuh tentang pembangunan sektor pertanian dalam kalangan pekebun-pekebun kecil. Yang Berhormat, untuk jimatkan masa YB Endau tak ada, saya skip sahaja. Saya akan beri jawapan bertulis kepada Endau. Banyak Endau bangkitkan. Saya skip. Yang Berhormat Sungai Balang, Yang Berhormat Pasir Raja telah membangkitkan tentang inisiatif bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan keperluan makanan. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor amat komited dalam usaha untuk mengurangkan beban rakyat akibat isu fenomena kenaikan harga barang yang mengakibatkan tekanan kos hidup yang tinggi.

Antara inisiatif yang dicadangkan adalah Program Bazar Rakyat Agro Johor atau BRAJ dengan FAMA sebagai agensi pelaksana. Dianggarkan 500 usahawan FAMA akan dilibatkan di 30 lokasi terpilih seluruh negeri Johor. Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM300,000.00 untuk tujuan tampungan harga kepada beberapa barangan terpilih seperti ayam bulat, telur, minyak masak, sayur dan beberapa barangan lain. Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 pengunjung Bazar Rakyat Agro Johor ini. Berikutan banjir besar yang berlaku ketika ini, yang mengakibatkan banyak pihak terjejas, kerajaan negeri Johor sedang merangka cadangan untuk menambah 20 ke 30 lagi lokasi BRAJ. Ia diharap dapat meringankan beban rakyat dan Bangsa Johor termasuk dalam persiapan bulan puasa dan hari raya.

Yang Berhormat Pemanis telah membangkitkan mengenai cadangan pembangunan industri tenusu di daerah Segamat. Untuk makluman Yang Berhormat Pemanis dan Ahli Dewan pada masa ini negeri Johor merupakan pengeluar susu kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 6.83 juta liter setahun pada tahun 2022. Melibatkan 113 pengusaha tenusu seluruh negeri Johor. Di Segamat terdapat 19 pengusaha aktif dengan pengeluaran keseluruhan pada tahun 2022 sebanyak 401,391 liter susu. Kerajaan negeri sememangnya amat mengalu-alukan penglibatan pelabur dalam membangunkan industri tenusu ini secara berskala besar bagi meningkatkan pengeluaran susu dan keterjaminan bekalan susu negeri Johor dan Malaysia amnya.

Bidang usaha penternakan lembu tenusu berpotensi sebagai sumber ekonomi negeri dan sebagai sumber pendapatan kepada penternak dan pengusaha hiliran tempatan. Untuk makluman, salah satu projek pembangunan bagi pembangunan industri tenusu di Johor adalah Projek Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing. Projek tersebut kini berada pada tahap kemajuan pelaksanaan 32% dan dijangka siap pada Julai 2024. Apabila beroperasi kelak, ianya dijangka akan menyumbang sebanyak 5 hingga 7 juta liter setahun bersamaan 10 peratus bagi penghasilan tenusu negara. Ianya seterusnya akan meningkatkan pengeluaran susu negeri Johor dengan anggaran sebanyak 13 hingga 15 juta liter setahun. Kerajaan negeri dan pihak ECERDC juga ada merancang untuk bekerjasama dengan pelabur swasta bagi membangunkan industri lembah tenusu di daerah Segamat berdasarkan model perniagaan sebagaimana yang digunakan bagi projek Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing. Pihak ECERDC kini sedang bekerjasama dengan Pejabat Daerah

dan Pejabat Tanah Segamat untuk mengenal pasti tanah dan lokasi yang bersesuaian di daerah Segamat bagi membangunkan cadangan projek tenusu tersebut.

Yang Berhomat Datuk Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Tiram kerana prihatin akan pelaksanaan Program Iqra` dan Fardhu Ain atau IQFA yang dijalankan oleh KEMAS Negeri Johor. Untuk makluman, waktu pembelajaran kelas IQFA ini adalah selama 1 jam sehari dan dilaksanakan 4 hari seminggu. Pihak kerajaan sangat menghargai usaha komited guru-guru IQFA selama ini. Untuk makluman Ahli Dewan, elaun guru-guru ini baru sahaja dinaikkan pada tahun 2022 iaitu daripada RM400.00 ke RM500.00 sebulan. Mungkin cadangan Yang Berhormat Tiram boleh difikirkan dan dilaksanakan di masa akan datang.

Yang Berhormat Pulai Sebatang pula telah membangkitkan cadangan mengenai pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan parit kampung kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau JPKK. Pada masa ini, pihak JPS telah mengemukakan kertas cadangan untuk diangkat kepada kelulusan kerajaan negeri Johor bagi kerja-kerja penyelenggaraan kawasan saliran sebanyak empat pusingan setahun yang akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau JPKK. Kerja-kerja berkenaan berkonsepkan secara gotong royong dengan kadar bayaran yang lebih optimum dibandingkan sekiranya kerja berkenaan diserahkan kepada kontraktor.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Kempas, Bukit Kepong, Sungai Balang dan Pekan Nanas yang membangkitkan tentang isu kekurangan Lampu Jalan Kampung atau LJK. Setelah beberapa kali kerajaan negeri membangkitkan perkara ini kepada kerajaan persekutuan, semalam Yang Berhormat Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengumumkan bahawa Projek Lampu Jalan Kampung akan diteruskan bagi Fasa 11. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah memperuntukkan sejumlah RM102.83 juta untuk membiayai kos operasi dan penyelenggaraan lampu jalan kampung di seluruh negara. Dimaklumkan juga bahawa, proses permohonan Lampu Jalan Kampung (LJK) ini berada pada fasa akhir proses perolehan dan bagi negeri Johor, ianya dijangka akan diperuntukkan sebanyak 2,300 unit Lampu Jalan Kampung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan pelbagai isu semasa persidangan Dewan ini yang saya kira amat penting untuk diberikan perhatian. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan menerusi sesi penggulungan ini tidak dapat menjawab semua persoalan secara terperinci. Sekiranya terdapat persoalan yang kurang diperjelaskan, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh merujuk ke pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas secara bertulis atau menerusi perbincangan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi di bawah portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar atas kerjasama sepanjang tempoh genap setahun saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar pada 26 Mac ini.

Terima kasih juga atas kerjasama mereka dalam menyediakan maklumat dan data sepanjang tempoh Persidangan Dewan kali ini. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, Yang Berhormat Pegawai Kewangan dan sudah pasti Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas tunjuk ajar dan perhatian terhadap portfolio ini. Akhir sekali kepada yang beragama Islam selamat menjalani ibadah puasa. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah, penggulungan 10 orang Yang Berhomat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa telah pun tamat. Saya mengucapkan setinggi-

tinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih di atas kemahiran Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengawal masa masing-masing.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada semua. Semoga kita semua diberikan kesihatan dan dapat menjalani ibadah dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah. “Tiada kebahagiaan tanpa syukur, tiada rasa syukur tanpa sabar, tiada sabar tanpa maaf, Marhaban ya Ramadan, maaf zahir dan batin.”

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga Isnin, 27 Mac 2023, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.10 tengah hari.