Johor · 27 March 2023
2nd session, 1st meeting · 49 turns · 8,930 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyuran Daripada Yang Berhormat Timbalan Speaker.
Assalalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Bismillahirrahmanirrahim (Doa), salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Alhamdulillah, hari ini Isnin, 27 Mac 2023, bersamaan 5 Ramadan 1444H, masa berlalu dengan pantas, kita telah pun tiba di hari yang ke-6 yang juga hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada hari ini.
Sempena genap setahun kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dewan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah serta syabas kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar, para EXCO serta Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memimpin dan mengurus negeri ini sejak setahun yang lalu dengan jayanya. Sesungguhnya, muafakat para eksekutif dengan pentadbir dan penjawat awam amat besar maknanya dalam menjayakan aspirasi kepimpinan. Semoga ujian, segala ujian, kejayaan serta muafakat yang terbina akan menambah kebijaksanaan dan kekuatan kepimpinan ke arah Maju Johor 2030. Sesungguhnya Muafakat Itu Berkat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bersama-sama kita pada hari ini adalah pemerhati-pemerhati yang terdiri dari pemimpin-pemimpin pelajar dari Johor Student Leader’s Council (JSLC) seramai 21 orang (Dewan bertepuk), diiringi wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) seramai 5 orang (Dewan bertepuk). Bersama kita juga adalah pemimpin belia dari Dewan Muda Johor (DMJ) seramai 13 orang (Dewan bertepuk), bersama kita juga adalah Duta Perpaduan Johor seramai 25 orang (Dewan bertepuk) serta pemerhati daripada DUN Kota Iskandar seramai 11 orang (Dewan bertepuk). Semoga pemerhati-pemerhati yang juga pelapis-pelapis kepada kepimpinan masa depan ini akan dapat menimba ilmu dari lawatan pada hari ini.
Soalan Lisan.Questions
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan bahawa sesi jawapan lisan, soalan lisan pada hari ini akan dipendekkan sehingga pukul 10.15 pagi untuk memberi laluan penggulungan dan seterusnya rundingan yang akan dibawa. Dimulakan, jemput Puteri Wangsa, Yang Berhormat Puteri Wangsa jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.
Adakah kerajaan negeri mempunyai usaha untuk memperkasakan graduan-graduan TVET dengan program seperti train and place, di mana mereka diberikan latihan yang memenuhi pasaran industri pekerjaan di negeri Johor?
Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa. Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab soalan yang ditanyakan oleh Yang Berhormat Puteri Wangsa, Alhamdulillah soalan yang berbunyi, adakah kerajaan negeri mempunyai usaha untuk memperkasakan graduan-graduan TVET dengan program
seperti train and place, dengan izin, di mana mereka diberikan latihan yang memenuhi pasaran industri pekerjaan di negeri Johor?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, saya mengucapkan sekali lagi terima kasih kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa yang mengemukakan pertanyaan. Dan untuk makluman Yang Berhormat Puteri Wangsa, kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan telah menawarkan kursus-kursus kemahiran secara percuma serta penempatan pekerjaan sejurus tamat di dalam Program Upskilling dan Reskilling yang berkonsepkan train and place. Di mana Unit Strategik Modal Insan telah pun menaja kursus pelbagai bidang bagi menarik minat rakyat Johor serta golongan-golongan belia agar kadar pengangguran di negeri Johor dapat dikurangkan. Dan untuk makluman Yang Berhormat juga, pada tahun 2022 sebanyak RM5.2 juta telah diperuntukkan kepada Unit Strategik Modal Insan bagi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor atau pun Pro Mahir. Dan sebanyak 45 kursus telah dijalankan pada tahun lepas dan seramai 1,304 orang telah menerima manfaat daripada program Pro Mahir ini. Kalau boleh, saya juga ingin menyatakan beberapa program-program yang telah disenarai pendekkan tetapi hari ini, apabila Yang Berhormat Datuk Speaker menyatakan dipendekkan untuk persoalan atau pun perbahasan pada pagi ini, saya memendekkan dan kursus-kursus bagi menempatkan kursus dan penempatan pekerjaan pada tahun lepas yang bermula pada bulan Ogos bagi Kumpulan 1, 1 hari bulan 5, Ogos 2022 dan Kumpulan 2 pada 15 Ogos hingga 20 Ogos yang mempunyai kos 5 hari tempohnya dalam Kursus Aviation Fundemental Training. Pelbagai latar belakang agama, keturunan telah pun ditempatkan boleh saya, kalau boleh saya sebutkan nama-nama, lebih kurang 40 pelajar-pelajar TVET seperti Kashien Sinavasan Ravidan dalam pekerjaan sektor juruterbang dan hari ini pendapatannya melebihi RM5,000.00 dengan di bawah majikan Asia Aerotical Training Academic dan Suzliana di bawah pekerjaan Scenario Asia dengan pekerjaannya ditetapkan sebagai jurutera dan pendapatannya sebanyak RM3,500.00.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, di bawah PERKESO pula menerusi Program Transaksi Pekerjaan untuk perantis TVET dan lepasan sekolah atau kerjaya TVET yang menyediakan bayaran insentif sebanyak RM600.00 sebulan untuk tempoh 3 bulan kepada majikan yang menggajikan graduate atau pun graduan teknikal dan vokasional TVET dan bagi menangani isu ketidak sepadanan pekerjaan, missed match job, kerjaya TVET akan memfokuskan kepada Program Place and Train, dengan izin, iaitu Penempatan dan Latihan yang membolehkan majikan menghantar belia khususnya graduan TVET yang diambil bekerja untuk menjalani latihan berasaskan kompetensi oleh penyedia latihan yang diiktiraf oleh kerajaan, terima kasih Yang Berhormat, terima kasih.
Dijemput.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO atas jawapan sebentar tadi. Mengikut jawapan yang YB EXCO berikan pada saya jawapan bertulis juga ada menyatakan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia meletakkan statistik pengangguran dalam negara kita pada kadar 2.4% pada suku keempat 2022 dan pada masa yang sama, mengikut Jabatan Perangkaan juga kita ada 33.9%, dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, graduate missed match. Bermakna kalau kita lihat, walaupun kita ada peluang pekerjaan yang tidak diisi pada masa yang sama masih banyak graduan-graduan kita yang tidak memiliki pekerjaan yang bersamaan dengan status pendidikan mereka. Jadi, soalan saya sama ada kerajaan negeri ada apa-apa usaha atau pun pembentuk rancangan kerjasama bersama kerajaan persekutuan dan industri-industri di dalam negeri Johor ini untuk menggunakan big data sebagai contohnya untuk menjalankan forecast pekerjaan-pekerjaan yang akan ada di dalam negeri Johor dan Malaysia untuk memastikan missed match ini dapat kita selesaikan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya mengucapkan kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa atas soalan tambahan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Puteri Wangsa dan jelas di atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap pembangunan TVET di negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor seperti mana saya kerap mengatakan, menyatakan di bawah Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor cukup mengambil maklum tentang peranan-peranan missed match job atau pun di bawah TVET ini dalam melahirkan tenaga buruh yang kompeten bagi memajukan ekonomi di negeri Johor. Dan antara-antara inisiatif adalah melalui penganjuran-penganjuran Program TVET yang bakal atau pun yang telah dilaksanakan pada tahun lepas dan tahun ini, Insya-Allah. Di mana, di bawah objektif karnival-karnival missed match job atau pun di bawah program-program TVET adalah memperkenalkan pembelajaran TVET kepada murid di bawah sekolah rendah hinggalah sekolah menengah selain memberi kesedaran kepada golongan ibu bapa terhadap tentang kelebihan dan peluang kerjaya yang luas dalam bidang TVET ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti mana soalan-soalan yang diajukan oleh Puteri Wangsa, pemain-pemain utama TVET dan industri di negeri Johor juga disarankan untuk memanfaatkan industri forward, dengan izin atau IR4.0. Ini bertujuan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing masing-masing agar dapat bersedia mengharungi cabaran-cabaran yang baharu di mana golongan-golongan masyarakat belia tidak terpinggir dan tidak ketinggalan. Justeru, Johor memerlukan institusi TVET yang lebih fleksibiliti yang lebih fleksibel dan tenaga pengajar dan yang lebih penting kompeten. Malah, infrastruktur itu sendiri perlu lengkap dan kukuh dalam mendepani cabaran akan datang. Kita percaya agenda pemerkasaan TVET bersama-sama dengan penggiat utama industri, harus menjadi hala tuju strategik TVET, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Maharani, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.
Mohon penjelasan semula mengenai inisiatif kerajaan untuk membantu Persatuan Teksi Negeri Johor khususnya di DUN Maharani?
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor setahun bersama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Maharani atas pertanyaan berkenaan inisiatif kerajaan untuk membantu Persatuan Teksi Negeri Johor khususnya di DUN Maharani.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, kerajaan negeri sentiasa memantau isu dan permasalahan pembangunan serta perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Johor. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan semua perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini sistematik dan cekap termasuk perkhidmatan teksi. Kerajaan negeri mengambil maklum akan kesukaran yang dialami oleh persatuan dan pemandu-pemandu teksi dalam menghadapi situasi ekonomi yang agak mencabar ketika ini. Selain daripada terpaksa bersaing dengan pemain industri pengangkutan awam yang lain, pemandu teksi sendiri agak terhimpit dengan keboleh percayaan pengguna terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
Oleh itu, pada tahun lepas melalui pemberian bantuan pekerja ekonomi (GIG) seramai 1,730 pemandu teksi yang berdaftar di seluruh negeri Johor telah menerima bantuan tunai One-Off RM300.00 yang telah dikredit ke akaun bank penerima. Jumlah keseluruhan ialah RM519,000.00. Kita sedia maklum, bandar Muar merupakan kawasan tumpuan pelancong
dari dalam dan luar negara. Kerajaan negeri berpendapat mutu dan imej pengangkutan awam seperti teksi dapat ditingkatkan dari aspek kecekapan, kebersihan dan keboleh percayaan.
Persatuan-persatuan teksi digalakkan mengguna pakai sistem teksi berkupon atau aplikasi e-Hailing teksi bagi memudahkan pengguna mendapatkan harga tetap serta senang dicapai. Tidak ramai pemandu teksi di negeri Johor yang berdaftar dengan e-Hailing atau menggunakan aplikasi e-Hailing. Sistem aplikasi e-Hailing untuk teksi juga masih belum digunakan sepenuhnya. Bagi sistem e-Hailing berkupon di Johor, hanya Persatuan Teksi di JB Sentral, Larkin Sentral dan Terminal Lapangan Terbang Senai sahaja setakat ini yang menggunakan sistem teksi berkupon. Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan membantu menaikkan imej teksi di Johor dengan memperkenalkan pengiklanan di badan teksi. Selain mencantikkan imej kenderaan, inisiatif ini juga akan membuka peluang pemandu teksi menjana pendapatan tambahan dari sumber pengiklanan di badan teksi. PAJ sedang meneliti prosedur dan garis panduan agensi-agensi yang terlibat bagi pemasangan iklan di badan teksi seterusnya akan bekerjasama dengan persatuan teksi di seluruh negeri Johor bagi meluaskan inisiatif ini.
Antara inisiatif yang sedang dikaji oleh pihak kerajaan negeri ialah:-
1. Menggalakkan persatuan teksi menggunakan sistem tiket berkupon bagi meningkatkan kebolehpercayaan pengguna.
2. Bekerjasama dengan APART bagi menyelaraskan undang-undang yang dikenakan kepada pemandu teksi dan pemandu e-hailing.
3. Menyelaraskan tarikh luput kad pemandu mengikut permit teksi.
4. Memudah cara dari segi pinjaman kepada bank.
5. Mencadangkan harga dan cukai yang berpatutan untuk kenderaan teksi baharu.
6. Menaikkan umur teksi dari 10 tahun ke 15 tahun.
7. Skim caruman pekerja untuk teksi melalui Perkeso.
8. Mencadangkan kajian semula kadar tambang teksi kepada Kementerian Pengangkutan. Terima kasih.
Jemput, Maharani.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO dan juga Datuk Timbalan Speaker. Soalan tambahan saya, apakah tindakan kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah kesukaran pemandu teksi untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank untuk membeli kereta dan juga keperluan rumah mereka? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Seperti yang saya sebutkan tadi, pihak PAJ sedang dalam kajian dan cadangan dalam 8 cadangan tadi untuk penambah baikan kepada sistem dan juga pemandu-pemandu teksi antaranya ialah memudah cara dari segi pinjaman kepada pihak bank, insya-Allah nanti, bila kajian telah selesai Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kita akan maklumkan semula kepada Yang Berhormat Maharani, terima kasih.
Yang Berhormat Penawar, jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, soalan nombor 3.
Apakah usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan secara langsung Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya mereka sama-sama memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu penderaan kanak-kanak?
Terima kasih Datuk Timbalan Speaker, terima kasih Penawar. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Menjawab soalan Penawar, apakah usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan secara langsung Badan Bukan Kerajaan supaya mereka sama-sama memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu penderaan kanak-kanak?
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri Johor turut melaksanakan inisiatif untuk menggalakkan Badan Bukan Kerajaan dan sukarelawan bersama-sama memainkan peranan penting dalam menangani isu penderaan kanak-kanak di negeri Johor.
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia, Che’ Puan Besar Khaleeda binti Bustamam, Child Support Team Johor, dengan izin, Pasukan Sokongan Kanak-Kanak Negeri Johor yang telah ditubuhkan dan akan diberi latihan menggunakan Modul Lindungi Permata Johor yang telah dibangunkan dengan kerjasama pakar berkaitan kanak-kanak daripada Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengandungi 6 komponen, iaitu Motivasi Kanak-Kanak, Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Perundangan dan Advokasi berkaitan kanak-kanak, Kanak-Kanak dan Multi budayanya, Kemahiran Mengakses Kanak-Kanak, Kemahiran Membantu Kanak-Kanak.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, program ini akan melibatkan seramai 300 ahli masyarakat yang akan melalui 8 siri bengkel termasuk Badan Bukan Kerajaan, sukarelawan atau individu yang terlibat dengan pengurusan kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan kanak-kanak akibat didera bagi tahun 2023 seperti:-
1. Pembantu Pelindung di bawah Seksyen 8A, Akta Kanak-Kanak. 2. Pembantu Kebajikan Kanak-Kanak, Seksyen 7A. 3. Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Seksyen 7 di bawah Akta Kanak-Kanak. 4. Sukarelawan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. 5. Pengasuh TASKA, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak, 1984. 6. Pengendali Pusat Jagaan Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak. 7. Akta Pusat Jagaan 1993. 8. Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung seluruh negeri Johor. 9. Pemimpin-pemimpin tempatan dan Badan Bukan Kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Badan Bukan Kerajaan yang mempunyai kepakaran tertentu dilibatkan menganggotai Jawatankuasa Penggubalan Pindaan Akta Dasar serta Pelan Tindakan Berkaitan Kanak-Kanak serta Jawatankuasa Tindakan yang melibatkan kanak-kanak. Mereka juga dilibatkan dalam sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan keperluan pembangunan kapasiti pihak berkepentingan bagi meningkatkan kecekapan prosedur pengurusan kes penderaan kanak-kanak. Badan Bukan Kerajaan Johor juga digalakkan untuk menjalankan kempen-kempen kesedaran dan advokasi kepada pihak-pihak yang berkepentingan di peringkat komuniti. Pihak Jabatan juga sentiasa menyediakan platform kerjasama dengan penganjuran bersama dialog dengan pihak badan-badan bukan kerajaan. Badan-badan Bukan Kerajaan yang mempunyai kepakaran tertentu boleh membantu dengan menyediakan fasiliti-fasiliti seperti
pusat jagaan kanak-kanak yang memerlukan pemuliharaan dan perlindungan serta perkhidmatan sokongan kepada mangsa penderaan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri Johor kini sedang berada dalam usaha menubuhkan Majlis Muafakat Kanak-Kanak Negeri Johor bagi menangani isu-isu berkaitan kanak-kanak di negeri Johor terutama berkenaan penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Majlis Muafakat Kanak-Kanak ini akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Manakala, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim akan menjadi urus setia bagi majlis ini. Di peringkat daerah, Pejabat Daerah akan mempengerusikan Majlis Muafakat Kanak-Kanak Negeri Johor dan diurusetiakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim. Majlis Muafakat Kanak-Kanak ini diselaraskan dengan Convention, dengan izin of the Rights of the Child (CRC), sebagai mana diperuntukkan di bawah Perkara 12 dan 13 yang menghormati pandangan dan perspektif kanak-kanak. Majlis ini juga berperanan untuk mereka bentuk satu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan. Mengesyorkan perkhidmatan yang ditujukan khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan membangunkan program-program advokasi berkaitan kanak-kanak.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri Johor juga berkolaborasi strategik dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi pengurusan pendaftaran dan pemantauan dilaksanakan terhadap Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang berdaftar. Seterusnya adalah, penaziran dan penarafan untuk kanak-kanak. Untuk memastikan supaya semua Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang berdaftar patuh kepada standard minimum yang ditetapkan dalam Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1963 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1984. Untuk memastikan juga Pusat Jagaan Kanak-Kanak memberikan penjagaan dan perkhidmatan yang berkualiti kepada golongan sasar. Terima kasih Datuk Timbalan Speaker.
Jemput, Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya, apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh kerajaan negeri selepas menerima laporan berkenaan penderaan kanak-kanak?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Menjawab soalan tambahan daripada Penawar. Sebaik menjurus menerima laporan atau rujukan yang melibatkan penderaan kanak-kanak sama ada melalui talian kasih, media sosial, surat, telefon orang awam, guru, pengasuh, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyemak rujukan atau aduan tersebut bagi siasatan segera.
Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menjalankan siasatan dalam tempoh 10 jam daripada aduan rujukan tersebut diterima bagi mendapatkan kesahihan aduan dan rujukan tersebut. Sekiranya ada unsur penderaan dan pengabaian, pelindung, pembantu pelindung atau pegawai polis akan menyelamatkan kanak-kanak tersebut di bawah Seksyen 18, Akta Kanak-Kanak 2001. Jika perlu, kanak-kanak tersebut akan dibawa untuk menerima rawatan di hospital. Sepanjang tempoh kanak-kanak di hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengenal pasti penempatan kanak-kanak selepas dikeluarkan dari hospital. Kanak-kanak tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk mengambil perintah penempatan sementara di bawah Seksyen 25, Akta Kanak-Kanak 2001 dalam tempoh 24 jam. Kanak-kanak tersebut seterusnya akan ditempatkan di tempat selamat seperti institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau bersama orang yang layak dan sesuai dalam suatu tempoh yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah. Siasatan dan penyiasatan penyediaan laporan juga akan disediakan oleh pelindung bagi kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak tersebut.
Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan mendapatkan perintah tetap dari mahkamah bagi kanak-kanak tersebut untuk satu penempatan tetap dan selamat kanak-kanak tersebut. Bagi terus menjaga keselamatan kanak-kanak itu, pemantauan akan dijalankan oleh pelindung yang dipertanggungjawabkan. Tindakan kepada pelaku juga diambil oleh Polis DiRaja Malaysia jika terdapat pendakwaan terhadap mereka. Terima kasih Datuk Timbalan Speaker.
Yang Berhormat, Pemanis. Jemput.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Pat-pat siku lipat, soalan Pemanis nombor 4.
Kenapa dan bilakah BPEN menerusi Perbadanan Perumahan Johor akan melaksanakan pembinaan 15 unit rumah di daerah Segamat menerusi program bantuan rumah tahun 2022 seperti yang dijanjikan kerana sudah lebih setahun masih belum dimulakan pembinaannya?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Soalan YB Pemanis, berbunyi kenapa dan bilakah BPEN atau Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor menerusi Perbadanan Perumahan Johor akan melaksanakan pembinaan 15 unit rumah di daerah Segamat menerusi program bantuan rumah tahun 2022 yang masih belum dimulakan pembinaannya?
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di dalam Ucapan Bajet 2023, Yang Berhormat Menteri Besar telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan 50 unit Rumah Kasih atau dipanggil RKJ. Untuk makluman Yang Berhormat, kertas kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Februari 2023, telah meluluskan cadangan pemurnian program Rumah Ihsan Johor dan penjenamaan semula Program Ihsan Johor kepada Rumah Kasih Johor atau RKJ. Penawaran akan diberi keutamaan kepada senarai e-kasih yang diurusetiakan oleh BPENJ dan pejabat daerah. Syarat tambahan bagi program Rumah Kasih Johor adalah pemohon mestilah merupakan pemilik tunggal atau pemilikan bersama ke atas hakmilik tanah. PKPJ akan mengadakan taklimat kepada wakil pejabat daerah dalam masa terdekat untuk pelaksanaan Program Rumah Kasih Johor ini. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO ke atas jawapan yang telah diberikan. Cuma saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO bagaimanakah sebenarnya pemantauan dibuat oleh pihak kerajaan negeri kepada agensi pelaksana ini kerana kita lihat apabila berlaku kelewatan untuk menyiapkan rumah-rumah kepada golongan B40 ini, ia memberikan kesan tidak baik sebenarnya kepada kerajaan sementelahan kita telah melancarkan baru-baru ini tadi berkenaan dengan satu tahun pentadbiran, jadi apakah pemantauan ini dibuat dan jika tidak dapat dilaksanakan bolehkah diserahkan kepada agensi lain seperti Pejabat Daerah? Terima kasih.
Yang Berhormat, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang Mulia ini. Ya, saya faham di peringkat pelaksanaan Rumah Kasih Bangsa Johor ini sebelum ini dilaksanakan di peringkat Pejabat Daerah melalui BPENJ, itu adalah satu projek perumahan untuk B40 atau senarai e-Kasih, pemegang kad e-kasih. Yang kedua yang banyak juga isu yang timbul ialah perumahan di bawah SPNB, SPNB ini pun ada peruntukan perumahan seperti tahun lepas ada 150 unit untuk Johor. Dan tahun ini dijangka 300 unit, yang ini pun banyak berlaku isu pasal direct award kontraktor tu datang daripada kerajaan persekutuan sendiri atau SPNB. Saya balik kepada program yang daripada BPENJ diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor untuk tahun ini kita akan laksanakan 50 unit,
harga bernilai jumlah RM5 juta dan setiap unit rumah itu sebelum ini RM75,000.00 dan dinaikkan kepada RM100,000.00. Lepas itu kita ada tambahan untuk kerja-kerja emergency. Saya faham bila nak bina rumah e-Kasih atau rumah golongan susah ini kadang-kadang dia berada di ceruk-ceruk kampung-kampung termasuklah saliran kadang-kadang berbukit dan sebagainya. Kita pun menyemak banyak isu-isu kenapa rumah B40 ini atau e-Kasih ini tidak disiapkan oleh kontraktor antara sebab yang utama ialah kos yang meningkat secara mendadak, itu salah satu, dan salah satu ialah kontraktor itu mungkin diberi kepada satu-satu tempat tu dia buat cuma 1 rumah atau 2 rumah jadi dari segi costing untuk membina rumah itu dah tentulah tidak memberi untung kepada kontraktor-kontraktor yang terlibat.
Jadi dasar baru, yang akan dilaksanakan untuk 50 rumah melibatkan 10 daerah dalam negeri Johor ini dengan nilai tadi, pertama kita tambahkan nilai daripada RM70,000.00 RM75,000.00 kepada RM100,000.00, itu yang pertama. Yang kedua kita akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang mempunyai sumber kewangan yang banyak dan mempunyai pengalaman untuk membina rumah mampu milik ini. Dan kita akan serahkan kepada mereka untuk membina rumah-rumah ini lah. Cuma, ada 2 syarat tambahan tadi yang saya masukkan dalam jawapan ialah pertama, dia mesti golongan e-Kasih yang ada kad e-Kasih yang melalui Pejabat Daerah atau JKM, itu satu. Yang kedua, kali ini punya rumah e-Kasih untuk golongan susah hanya diberikan kepada mereka yang ada geran tanah atas nama dia atau geran bersama. Sebab apa kita dapati ialah bila kita sebelum ini kita praktikkan surat contoh geran, geran saya tapi saya sedara kepada pemohon ini, jadi kita buat surat hitam putih sahaja. Apa yang berlaku bila orang yang dapat rumah ini meninggal dunia berlaku tuntutan pada anak-anak daripada pemilik asal tanah ini. Sebab itu kita syaratkan selepas ini mana rumah-rumah e-Kasih mesti ada geran sendiri atau geran bersama. Nama dia mesti ada dalam geran. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat. Dijemput Yang Berhormat Gambir.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 5. Terima kasih.
Apakah status program JENDELA untuk keseluruhan negeri Johor?
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih kepada Timbalan Datuk Speaker. Merujuk, berkaitan dengan soalan Gambir. Perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA Fasa 1 sehingga suku keempat tahun 2022 di seluruh negeri Johor, tapak menara baru, perancangan 299, siap 151, naik taraf stesen pemancar perancangan 4,456, siap 4,452. Ketersediaan sambungan gentian optik premis, perancangan 413,494, siap 383,724. Jalur lebar satelit siap 11.
Perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA Fasa 1 sehingga suku keempat tahun 2022 di DUN Gambir, tapak menara baru, perancangan 3 siap 2, Naik taraf stesen pemancar perancangan 30 siap 30, ketersediaan sambungan gentian optik premis, perancangan 5,237, siap 5,237.
Dimaklumkan juga lokasi bagi pembinaan 3 buah menara baru adalah seperti berikut, di kampung Parit Pulai beroperasi, Kampung Parit Baguk beroperasi, dan Kampung Sagil Parit 1 dalam pelaksanaan. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, usaha penambahbaikan
liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. JENDELA fasa 2 seterusnya akan memberi tumpuan untuk merapatkan lagi jurang digital yang tidak tercapai ketika di fasa 1. Maklum balas daripada orang awam bagi kawasan secara spesifik yang masih mempunyai masalah perkhidmatan adalah amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambilkan, diambil. Sebarang aduan yang berkaitan kualiti perkhidmatan dan rangkaian telekomunikasi boleh disalurkan terus kepada portal aduan MCMC yang saya maklumkan tempoh hari juga menerusi pautan laman web http/jendela.my. Sukacita juga hari ini Timbalan Datuk Speaker, saya maklumkan kepada semua dalam sidang dewan hari ini pihak MCMC hari ini mengadakan Hari Mesra Pelanggan telekomunikasi di luar perkarangan Dewan sidang ini. Jadi Hari Mesra Pelanggan telekomunikasi ini bertujuan bagi menerima aduan atau maklum balas daripada Yang Berhormat ADUN berkenaan masalah berkaitan kualiti liputan telefon dan sambungan internet di kawasan masing-masing. Pihak YB ADUN juga boleh mewakilkan pegawai khas DUN bagi mendapatkan taklimat dan penerangan lanjut. Sekian terima kasih.
Terima kasih YB EXCO, Terima kasih YB Speaker, YB EXCO soalan saya adalah berkaitan isu capaian internet dan komunikasi ini merupakan satu perkara yang sangat penting dan menjadi satu keperluan kepada kehidupan masyarakat dan hari bertemu masyarakat ini sangat kita alu-alukan pada hari ini. Jadi kalau kita cadangkan agar ianya dapat dan boleh diadakan di peringkat kawasan kami secara mungkin bulanan di tempat-tempat awam supaya masyarakat dapat salurkan segala isu mereka secara terus kepada pegawai MCMC secara terus. Itu sahaja maklumat saya. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Terima kasih, Timbalan Datuk Speaker, terima kasih juga kepada cadangan oleh YB Gambir, seperti mana yang saya maklumkan tadi kami usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian adalah merupakan satu usaha yang berterusan oleh kerajaan agar kualiti pengalaman oleh pengguna sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Oleh itu, saya mengucapkan sekali lagi kepada YB DUN Gambir atas nasihat dan cadangan yang telah diberikan tadi, sekian terima kasih.
Yang Berhormat Sedili, Jemput.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Sedili nombor 6.
Dalam pengupayaan masjid / surau bagi barisan pegawai imam dan bilal. Apakah perancangan dan inisiatif yang telah diambil bagi merangsang kebolehjadian kekurangan barisan imam dan bilal di semua masjid dan surau dalam negeri Johor?
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih YB Sedili atas soalan yang diberikan. Soalan yang dibangkitkan oleh YB Sedili berkenaan perancangan dan inisiatif dalam pengupayaan menyediakan barisan pegawai masjid dan surau, imam dan bilal dalam negeri Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Dewan yang mulia. Sehingga Mac 2023, kerajaan negeri telah melantik seramai 4,463 orang pegawai masjid dan surau untuk memegang jawatan sebagai imam, bilal dan noja di 838 buah masjid dan 1,942 buah surau. Daripada jumlah pegawai masjid dan surau ini, seramai 1,493 imam menerima elaun JAKIM
iaitu sebanyak RM850.00 sebulan manakala 1,306 orang imam dan 1991 bilal menerima elaun kerajaan negeri masing-masing menerima antara RM100.00 dan RM50.00 sebulan. Bagi maksud menjaga kebajikan pegawai-pegawai masjid dan surau ini, Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Bahagian Pembangunan Masjid Dan Surau telah dan akan memajukan kertas cadangan untuk memohon kenaikan elaun pegawai masjid dan surau daripada kerajaan negeri. Selain daripada itu, bermula dari tahun ini, kebajikan dan keselamatan pegawai masjid dan surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah mengambil langkah yang pro aktif dengan mencarumkan caruman PERKESO kepada pegawai masjid dan surau serta penggerak DUN yang memberi manfaat kepada 4,702 orang penerima.
Bagi menjawab isu kekurangan imam dan bilal di masjid dan surau yang tertentu. Kebiasaannya kes kekurangan imam dan bilal ini didengari di kawasan kampung yang mempunyai imam dan bilal yang sudah berumur. Bagi mengatasi masalah kekurangan ini Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan membuat pengambilan dan pelantikan imam dan juga bilal dalam tempoh 3 tahun sekali yang mana imam dan bilal ini juga boleh dinamakan oleh pengerusi masjid dan surau bagi kawasan-kawasan yang terbabit. Selain itu bagi mengatasi masalah kekurangan ini Jabatan Agama Islam Negeri Johor mengalu-alukan bagi individu-individu yang menjadi imam secara sukarela di kawasan-kawasan yang terbabit dengan terlebih dahulu perlu melalui prosedur dan juga sesi kursus bagi tauliah yang berkenaan. Bagi pelajar tahfiz tempatan yang juga berkelayakan juga boleh digalakkan untuk memohon bagi mengisi kekurangan imam dan bilal di kawasan-kawasan yang tertentu. Namun kesemua mereka ini perlu melalui proses kursus dan juga tauliah sebagaimana pelantikan imam, bilal yang lain-lain.
Kerajaan negeri Johor juga melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor amat prihatin dalam program pengimarahan masjid dan surau bukan sekadar pengimarahan dari sudut fizikal iaitu pembangunan masjid dan surau tetapi juga pengimarahan dari sudut program-program kerohanian seperti Program Semarak Surah Al-Kahfi, Surah Al-Mulk Dan Bacaan Selawat Nariah. Program ini dilaksanakan di setiap daerah di dalam negeri Johor. Antara pihak yang paling penting dalam usaha kerajaan negeri Johor dalam pengimarahan masjid dan surau ialah pegawai-pegawai masjid dan surau yang terdiri daripada imam, bilal dan noja yang dilantik untuk bertugas di masjid-masjid surau di seluruh negeri Johor. Setakat tahun 2023, saya memaklumkan Datuk Speaker, pegawai-pegawai masjid dan surau yang berumur 40 tahun ke atas adalah seramai 3,958 orang, manakala di kalangan pegawai berumur 40 tahun ke bawah seramai 608 orang. Bagi memastikan negeri Johor tidak ketandusan dari sudut imam-imam muda pada masa akan datang, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah bekerjasama dengan MARSAH dan juga UTHM melalui kerjasama pintar bagi mengadakan Program Imam Muda dan Eksekutif Imam Profesional selama tempoh 1 tahun. Melalui Program Eksekutif Imam Profesional anjuran UTHM ini seramai 85 orang imam muda berjaya dilahirkan dalam kalangan pelajar dan juga graduan. Selain itu, melalui Program Imam Muda anjuran MARSAH, latihan pembangunan imam dan bilal untuk pelajar MARSAH melalui inisiatif Muslih yang dilaksanakan sejak tahun 2021 bakal melahirkan serama 50 orang, 500 orang pelajar graduan setiap tahun yang mempunyai tauliah imam muda. Program imam muda ini juga merupakan salah satu dari 8 petunjuk prestasi utama (KPI) saya sendiri bagi melahirkan setiap tahun 500 imam muda mulai tahun 2022 sehingga berakhir penggal ini 500 orang setiap tahun. Ini membuktikan bahawa kerajaan Johor amat prihatin dalam usaha melahirkan imam muda yang berkualiti serta profesional di kalangan anak-anak muda pada masa kini dan mendatang. Terima kasih Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, ianya akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.
Soalan-Soalan Bertulis.Questions
Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor disambung sekarang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar dipersilakan.
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua dapat kita bersama-sama hadir di dalam Dewan yang mulia ini bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor. Pertama-tamanya patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadan 1444H.
Pada kesempatan ini juga, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Kedua bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mac yang lalu. Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyentuh pelbagai perkara yang semuanya menjurus kepada kepentingan Bangsa Johor. Ini sesungguhnya tidak lain dan tidak bukan mencerminkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap negeri Johor, kerajaan yang mentadbirnya serta setiap dari Bangsa Johor rakyatnya yang tercinta.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan yang mulia ini tidak mungkin dapat dijalankan dengan baik tanpa peranan seorang Speaker dan seorang Timbalan Speaker yang bijaksana dan berhemah tinggi. Lantaran itu, tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker yang telah mengelolakan perjalanan Persidangan Dewan Negeri Johor ini dengan penuh tertib, tegas dan teratur. (Dewan bertepuk). Pembahas isu penuh tekad, demi rakyat muafakat membulat, Speaker dan Timbalan gandingan sepakat, menjunjung titah raja berdaulat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah berbahas membawa suara rakyat setempat dan negeri secara tuntas, matang dan bernas. Insya-Allah, setiap perkara yang dibahas akan diteliti serta dipertimbangkan dengan sebaik dan sehalus mungkin oleh kerajaan negeri. Datuk Speaker, dengan izin Allah SWT pada tanggal 15 Mac 2023, genaplah setahun perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19 dan pada tanggal 25 Mac 2023 yang lalu genap setahun pelantikan barisan EXCO kerajaan negeri. Di hadapan Ahli-Ahli Yang Berhormat terdapat sebuah buku yang cukup bermakna buat saya secara peribadi. Ia merupakan buku laporan Maju Johor Edisi 2022-2023. Sesungguhnya, segala pencapaian yang dikecapi sepanjang satu tahun ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan, dorongan dan usaha semua pihak demi kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, jika kita rujuk muka surat 3 buku ini, suka sekali lagi saya kongsikan bahawa visi Maju Johor 2030 di mana Johor bukan sahaja perlu maju dari segi ekonomi dan infrastrukturnya, malah seluruh Johor mestilah maju secara holistik. Rakyatnya juga perlu maju dari segi pemikiran, peradaban, ketamadunan ilmu, perwatakan, adat resam, nilai-nilai murni, jati diri dan sahsiah modal insannya. Johor mesti jadi Johor. (Dewan bertepuk). Maju Johor ini ditunjangi 6 teras iaitu :
1. Urus Tadbir Kerajaan. 2. Pembangunan Ekonomi. 3. Jaringan Keselamatan Sosial. 4. Kemudahan dan Keperluan Asas. 5. Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar. 6. Orang Muda Johor.
Melalui 6 teras ini, sebanyak 224 inisiatif telah dilaksanakan sepanjang tahun. Walaupun banyak perkara dan inisiatif yang telah dilaksanakan dalam masa setahun ini, namun begitu saya sedar dan insaf bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah, saya bersama barisan EXCO dengan sokongan penjawat-penjawat awam akan memastikan negeri ini terus berada di atas landasan yang terbaik dari segenap aspek dan perkara, Insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak yang telah disentuh dan dibahaskan sepanjang Dewan bersidang pada kali ini. Namun, bencana banjir menjadi topik utama yang mendominasi hampir ke semua Perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Satu peristiwa yang sangat menyentuh hati seluruh Bangsa Johor. Saya bersimpati kepada semua yang terkesan dan saya juga amat memahami benak hati dan perasaan setiap Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bertungkus lumus membantu mereka yang terkesan seperti Yang Berhormat Buloh Kasap, Seri Medan, Tenang, Bekok, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Pemanis, Penggaram dan ramai lagi. Pengorbanan dan usaha-usaha Ahli Yang Berhormat sekalian mengingatkan saya kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang berbunyi (Bacaan hadis) yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang yang lain” – Hadis sahih riwayat Al-Tabrani.
Datuk Speaker, pada kesempatan ini juga, izinkan patik bagi pihak kerajaan negeri menzahirkan junjungan setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah mengurniakan peralatan elektrik dan tilam bernilai RM700,000.00 baru-baru ini bagi tujuan pasca banjir. (Dewan bertepuk). Patik sentiasa berdoa agar Kebawah Duli Tuanku serta seluruh keluarga DiRaja sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah SWT. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri persekutuan yang telah banyak membantu Bangsa Johor dalam menghadapi situasi yang getir ini. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada kerajaan-kerajaan negeri, pegawai-pegawai daerah, agensi-agensi negeri dan persekutuan, GLC-GLC, pihak swasta, sukarelawan Southern Volunteers dan semua yang membantu dalam kita mengharungi cabaran dan dugaan yang luar biasa ini. Tenang-tenang air di laut, sampan kolek mudik ke tanjung, hati terkenang mulut menyebut, budi yang baik rasa nak junjung.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai tanda penghargaan marilah kita sama-sama memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada semua petugas-petugas dan sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Speaker, syukur Alhamdulilllah hari ini semua pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) telah tutup sepenuhnya. Namun begitu, kerja-kerja pasca banjir dan bantuan-bantuan perlu diuruskan dengan segera. Mendengar keluhan Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya
sahabat saya Yang Berhormat Seri Medan, izinkan saya berkongsi 5 perkara terkini tentang bantuan banjir.
Pertamanya, kerajaan telah berbincang dengan pihak Ranhill SAJ dan mereka telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 40% untuk bil air mangsa-mangsa banjir yang terjejas bagi bulan Mac dan April. (Dewan bertepuk). Keduanya, kerajaan negeri sedar dan faham, ada mangsa-mangsa banjir yang tidak sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting kerana paras air naik begitu mendadak. Oleh sebab itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran RM250.00 bagi penggantian geran yang hilang atau hancur semasa banjir melanda. Ketiganya, pembayaran Bantuan Wang Ihsan kerajaan persekutuan dan negeri akan selesai selewat-lewatnya akhir bulan ini. Kecuali untuk daerah Batu Pahat dan juga Segamat kerana angka bilangan penerimanya jauh lebih ramai daripada daerah-daerah lain. Bantuan RM1,300.00 ini untuk setiap ketua isi rumah akan melibatkan peruntukan sebanyak RM34.2 juta. Keempat, Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April tahun ini dan bantuan RM2,500.00 untuk setiap ketua isi rumah ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM60.3 juta. Kelima, izinkan saya berkongsi sekali lagi bahawa moratorium pinjaman bagi mangsa-mangsa banjir sehingga 6 bulan telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 7 Mac yang melibatkan hampir kesemua bank.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan apa yang berlaku di negeri Johor ini, isu perubahan iklim adalah satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian yang serius. Saya sangat menghargai sokongan-sokongan daripada Yang Berhormat Kukup, Permas, Stulang, Perling, Penggaram, Johor Jaya dan Bentayan yang menyokong penuh penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana. Begitu juga Yang Berhormat Benut, yang kebetulan menyambut hari jadinya hari ini. (Dewan bertepuk). Selamat hari jadi Dato’ Hasni, semoga sentiasa dirahmati dan diberkati Allah SWT. Yang Berhormat Benut telah menyuarakan di dalam Sidang Parlimen bahawa Malaysia perlu belajar dan bertukar kepakaran dengan Singapura dalam menangani fenomena perubahan iklim melalui Singapore Green Plan 2030. Seperti yang kita semua kita sedia maklum, bencana banjir kilat, pencemaran udara, air dan darat, pemanasan global dan perubahan iklim adalah kesan ketidakstabilan ekosistem yang berpunca daripada aktiviti manusia itu sendiri. Perubahan iklim yang tidak menentu akan memberi impak kepada kehidupan rakyat dan masa depan negeri Johor. Dalam kita mengejar matlamat untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030, kita sama sekali tidak boleh melupakan perkara yang asas iaitu kebersihan. Atas sebab itu Agenda Johor Bersih telah digarap dan di laksana dengan satu tujuan khusus iaitu bagi mewujudkan satu gelombang perubahan minda dan sikap supaya masyarakat Johor mencintai alam sekitar dan menjaga kebersihan. Kita boleh membina masa depan yang lebih mampan tetapi isu ini perlu ditangani bersama dengan kadar yang segera.
Data satelit merekodkan kenaikan paras laut antara 4.3 cm dan 11.9 cm dari tahun 1993 sehingga tahun 2010. Satu kajian oleh Nanyang Technology University (NTU) Singapura mendapati purata kenaikan aras laut global boleh mencecah antara 30 cm hingga 60 cm menjelang tahun 2100 jika sasaran dunia untuk menangani pelepasan gas tidak dicapai. Dengan monsun dan cuaca yang tidak menentu, kawasan persisiran pantai berisiko besar ditenggelami air akibat kenaikan paras laut menjelang tahun 2050. Kajian yang telah dibuat oleh Thinkcity menunjukkan peningkatan 6.7 darjah Celsius suhu permukaan bagi daerah Johor Bahru antara 2005 dan 2018. Kenaikan disebabkan oleh peningkatan persekitaran binaan JB, kadar justifikasi dan peningkatan dalam bilangan beberapa industri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, masa untuk bertindak adalah sekarang. Jangan kita nanti, sudah terhantuk, baru tengadah. Kitalah yang akan menentukan nasib masa depan anak cucu cicit kita. Justeru, adalah amat penting negeri Johor mempunyai rangka gerak kerja yang selari dengan Pelan Adaptasi Kebangsaan, Next Zero E Mission 2050 dan United
Nation Secretariat Climate Exchange Plan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Oleh sebab itu, penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana Johor ini yang akan kita rundingkan dalam Sidang Dewan Negeri adalah sangat penting dan saya berharap semua Ahli-Ahli Dewan Negeri akan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap rundingan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, beralih kepada perkara yang seterusnya iaitu ekonomi dan juga pelaburan. Syukur, alhamdulillah seperti yang kita semua maklum Johor mencatatkan penerimaan pelaburan yang tertinggi dalam negara dalam tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion (Dewan bertepuk). Patik menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk memudah cara bagi memastikan bahawa pelaburan-pelaburan ini dapat direalisasikan dengan kadar yang segera. Justeru itu, saya sendiri akan terus mempengerusikan Jawatankuasa Pelaburan Johor atau lebih dikenali sebagai Johor Investment Committee secara berkala bagi memastikan apa yang diluluskan dapat dilaksanakan. Jawatankuasa ini akan memantau dan memudah cara urusan-urusan pelaburan di negeri Johor. Sebanyak 570 projek telah diluluskan di Johor yang dijangka akan menghasilkan 16,000 peluang pekerjaan serta limpahan peluang-peluang perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia. Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk bangsa Johor, kerajaan negeri menggalakkan permukaan kawasan perindustrian baharu yang berkonsepkan Land Industrial Area atau kawasan perindustrian terancang dengan teliti serta kemudahan asas yang lengkap dan kondusif untuk para pelabur. Ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah pun menubuhkan unit khas, Industrial Estate Unit melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti.
Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh sedikit tentang Zon Khas Kewangan di Iskandar Malaysia yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini. Pihak kerajaan negeri akan mengalu-alukan cadangan ini dan berharap perkara ini dapat dibincangkan dengan pihak Kementerian Kewangan pada kadar yang segera. Saya yakin ia boleh menjadi catalyst untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan Iskandar Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri penggulungan ini, izinkan saya berkongsi sedikit berita gembira untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma.
Yang Amat Berhormat, ada nak bagi duit raya?
Insya-Allah Datuk Speaker, kita akan mengumumkan sedikit bantuan untuk semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk terus (Dewan bertepuk) menyantuni rakyat di kawasan masing-masing. Pertamanya, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 untuk program-program di bulan Ramadan ini (Dewan bertepuk). Disebabkan ada tepukan, kita tambah lagi. (Dewan bertepuk). Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 untuk program-program sempena Hari Raya Aidilfitri (Dewan bertepuk). Nampak gaya makin kuat Datuk Speaker. Tambahan lagi, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 untuk menjayakan Agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing. (Dewan bertepuk). Makin kuat Datuk Speaker. Semua peruntukan ini akan disalurkan dalam masa satu minggu. Saya berharap peruntukan ini akan digunakan sebaik-baiknya bagi memberi manfaat kepada rakyat dan Bangsa Johor secara keseluruhannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa kepada semua yang beragama Islam. Semoga kita semua dapat melakukan amal kebaikan di bulan yang penuh keberkatan ini, insya-Allah.
Mengakhiri ucapan, izinkan saya membaca serangkap pantun sebagai renungan kita bersama dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030. Negeri Johor nama tersohor, bertamu rakyat pelosok negara, membawa tekad demi Johor, negeri maju rakyat sejahtera. (Dewan bertepuk). Machap mohon menyokong usul titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam. Ahli-Ahli Yang Berhormat, anak teruna berbadan sasa, berbadan sasa jadi ikutan, pemimpin memberi rakyat merasa, kerajaan prihatin semoga berkekalan. (Dewan bertepuk.)
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor suatu ucapan menjunjung kasih sebagaimana berikut:-
Ampun Tuanku, adalah patik, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Bagi Dewan Negeri Johor Yang Kelima Belas.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.
Rundingan-Rundingan Dengan Tidak Payah Diberitahu.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Bencana daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah diterima oleh Jurutulis Dewan Negeri pada 22 Mac 2023, di bawah Peraturan Tetap Bilangan 32(viii), Peraturan-Peraturan dan Perintah-perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor dan diakui mustahak oleh Yang Berhormat Speaker. Sebagaimana Peruntukan Peraturan yang sama, rundingan itu perlu disokong oleh 10 orang Ahli.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyokong rundingan ini sila bangun di tempat masing-masing. Oleh sebab rundingan ini telah disokong, saya membenarkan rundingan itu.
Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan iaitu Dewan ini mengambil ketetapan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 103, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.
Jawatankuasa ini akan menjalankan fungsi-fungsi seperti berikut:
1. Meneliti undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir.
2. Mengkaji inisiatif-inisiatif yang diambil dalam menangani perubahan iklim.
3. Mengkaji keberkesanan proses dan langkah-langkah mitigasi banjir yang diambil di peringkat daerah dan negeri secara holistik.
4. Mengkaji alternatif lain dalam menangani isu banjir kilat, banjir termenung dan banjir yang kerap berulang di satu-satu kawasan sekiranya berlaku hujan lebat yang berpanjangan.
5. Mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi meminimumkan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat banjir merangkumi cadangan penempatan semula penduduk dan sebagainya.
6. Mencadangkan penambahbaikan yang boleh diambil oleh jabatan dan agensi berkaitan perkara-perkara yang melibatkan perubahan iklim dan banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada 14 orang Ahli Dewan Negeri termasuk seorang pengerusi. Korum bagi Jawatankuasa ini adalah seramai 7 orang termasuk Pengerusi. Berikut ialah nama-nama Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa.
1. Yang Berhormat Tuan Anuar Manap, Pengerusi, kawasan Pemanis. 2. Yang Berhormat Dato’ Haji Jefridin bin Atan, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Kukup. 3. Yang Berhormat Datuk Haji Zulkurnain bin Kamisan, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Sri Medan. 4. Yang Berhormat Puan Nor Rashidah binti Ramli, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Parit Raja. 5. Yang Berhormat Tuan Tan Chong, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Bekok. 6. Yang Berhormat Tuan Haji Selamat bin Takim Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Sungai Balang. 7. Yang Berhormat Puan Hajah Fauziah binti Misri Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Penawar. 8. Yang Berhormat Datuk Haji Mohamad Najib bin Samuri, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Parit Yaani, 9. Yang Berhormat Tuan Chen Kah Eng, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Stulang. 10. Yang Berhormat Puan Gan Peck Cheng, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Penggaram. 11. Yang Berhormat Cik Amira Aisya binti Abd Aziz, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Puteri Wangsa. 12. Yang Berhormat Cik Liow Cai Tung, Ahli Jawatankuasa daripada kawasan Johor Jaya. 13. Yang Berhormat Puan Hajah Alwiyah binti Talib, Ahli Jawatankuasa kawasan Endau. 14. Pegawai Kewangan Negeri. 15. Jurutulis Dewan Negeri sebagai Setiausaha.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jawatankuasa ini diberi kuasa oleh Dewan Negeri untuk memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di hadapannya dari masa ke semasa bagi maksud penelitian dan kajian terhadap apa-apa berkaitan perubahan iklim dan pengurusan bencana.
Jawatankuasa Pilihan ini juga hendaklah menyiapkan dan membentangkan Penyata Jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan untuk dipersetujukan atau mengikut apa-apa cara yang diperintahkan oleh Dewan Negeri Johor. Oleh itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Oleh sebab rundingan itu telah disokong, saya membenarkan rundingan itu dibahaskan oleh seorang ADUN sahaja. Masa yang diberikan 10 minit. Dijemput.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan rundingan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana. Sebagaimana yang kita sedia maklum, perubahan iklim ini bukan suatu yang baharu, malah merupakan satu isu global dan sudah banyak kajian yang membuktikan buruknya kesan perubahan iklim dan scientist juga menjangkakan perubahan iklim ini akan semakin buruk dan memberi kesan yang ekstrem dalam tempoh 20 tahun yang akan datang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga pernah menyatakan bahawa menjelang tahun 2030 dan 2050, kadar kematian disebabkan kesan perubahan iklim adalah sebanyak 250,000 orang dan kos kesihatan yang juga rawatan akan meningkat kepada USD4,000 bilion. Bayangkan berapa ramai nyawa yang terkesan dan berapa banyak pula kos yang perlu dikeluarkan bagi rawatan akibat daripada kesan perubahan iklim. Malaysia juga tidak terkecuali daripada kena tempias perubahan iklim ini. Tidak hairan dan tidak salah jika dikatakan semakin banyak bencana yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan perubahan iklim yang memberi impak buruk dan memudaratkan masyarakat.
Di Malaysia ada beberapa jenis bencana alam utama yang kerap berlaku, khususnya di negeri Johor seperti banjir, banjir kilat, kemarau dan juga tanah runtuh. Pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya perkara ini. Namun secara saintifiknya pemanasan global menyebabkan iklim menjadi tidak menentu, sekali gus menyebabkan berlakunya perubahan cuaca yang ekstrem serta menyebabkan berlaku situasi perubahan musim atau iklim yang tidak menentu dan di luar jangkaan. Menyoroti kembali antara bencana alam dan tragedi yang pernah menggemparkan negara, antaranya tragedi banjir buruk di Selangor, contohnya, Disember 2021 dan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, yang mengorbankan 30 mangsa. Yang terbaru Februari 2023, hampir seluruh daerah di negeri Johor terjejas akibat banjir buruk dan ditenggelami air sehingga 3 meter serta melibatkan lebih 85,000 mangsa banjir. Banjir kali ini juga diumpamakan sebagai yang terburuk sejak berlakunya pada 2006. Bencana ini diakibatkan oleh situasi yang jarang berlaku, di mana taburan hujan luar biasa yang terlalu tinggi.
Menurut rekod Jabatan Pengairan dan Saliran, bacaan hujan di Stesen Air Panas, Segamat, Johor sejak 28 Februari hingga 3 Mac 2023 adalah sebanyak 731mm. Rekod ini merupakan yang tertinggi yang pernah dicerap, jika dibandingkan dengan rekod hujan bulanan yang tertinggi pada Disember 1991, yakni 621mm, dan Disember 2006, 599mm. Bacaan ini juga dicatatkan sebagai melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi bulan Mac untuk Johor iaitu 195mm. Memburukkan lagi keadaan, semasa banjir berlaku, takungan air di beberapa empangan terpaksa dilepaskan. Antaranya di Empangan Bekok, Segamat, Empangan Machap, Kluang dan juga Empangan Sembrong, Ayer Hitam kerana empangan ini tidak mampu lagi untuk menampung jumlah air di dalamnya. Apabila air empangan dilepaskan, ia sekali gus menyebabkan air naik mendadak di kebanyakan kawasan dan menyebabkan pula situasi air termenung. Namun syukur dengan keprihatinan dan kecekapan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, situasi air termenung ini dapat diatasi dan dipercepatkan menerusi operasi mengepam air di kawasan yang terlibat. Bencana alam juga menyebabkan pelbagai impak buruk, termasuklah kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda dan kerosakan fasilitis awam yang bernilai hingga ratusan juta ringgit dan memerlukan kos serta tempoh yang lama untuk proses baik pulih dan pembinaan semula.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ambil contoh semasa banjir buruk tahun 2002, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan Malaysia mencatatkan kerugian berjumlah RM622.4 juta iaitu menyamai 0.03% keluaran dalam negara kasar. Ini termasuklah kerugian daripada aset awam dan infrastruktur sebanyak RM232.7 juta, tempat kediaman yakni
RM157.4 juta, pertanian RM154.5 juta dan premis perniagaan RM50.3 juta. dan kenderaan RM18.8 juta dan sektor pembuatan sebanyak RM8.7 juta. Ternyata ianya bukanlah satu jumlah yang kecil. Bayangkan pula berapa banyak bentuk bantuan kepada rakyat ataupun pembangunan yang boleh dilaksanakan dalam jumlah tersebut, harga yang terpaksa dibayar.
Semasa banjir bukan sahaja kenaikan paras air menjadi kebimbangan, tetapi masalah lain yang menjadi kerisauan adalah berlakunya tanah runtuh disebabkan pergerakan tanah apabila hujan lebat dan berterusan. Di Johor sendiri sudah beberapa kes tanah runtuh direkodkan. Antaranya yang paling baru semasa banjir baru-baru ini, di mana Jalan Sungai Tiram, Ulu Tebrau ditutup kerana berlaku runtuhan di jalan dan berpotensi menyebabkan runtuhan yang lebih besar. Dan yang paling diingati, semasa tragedi tanah runtuh di Kg. Seri, Gunung Pulai pada 26 Disember 2001, kira-kira 22 tahun yang lalu. Gunung Pulai ini umpama satu mercu tanda di Johor Bahru, antara destinasi pelancongan utama dan terkenal di Johor kerana keistimewaan air terjun Gunung Pulai dan kaya pula khazanah alam semula jadi. Bukan hanya bagi penduduk tempatan, tetapi juga tarikan kepada pelancong luar. Bencana tersebut telah menghanyutkan dan memusnahkan 4 rumah penduduk di Kg, Seri, Gunung Pulai, di tebing Sungai Ayer Hitam di kaki Gunung Pulai, lebih memilukan 5 orang telah terkorban termasuk bayi dan kanak-kanak. Punca tanah runtuh ini juga disebabkan oleh hujan berterusan selama beberapa hari penceritaan sahaja tidak boleh cukup untuk menggambarkan betapa dahsyatnya situasi sebenar kejadian tersebut. Malah kebanyakan mangsa tidak mahu bercerita kerana terlalu trauma dalam kejadian ini.
Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai hakisan pantai di perairan pantai Johor yang semakin serius saban tahun. Beberapa meter kawasan pantai akan terhakis ke dalam laut akibat ombak besar dan juga rumah penduduk yang terjejas disebabkan hakisan pantai malah ada yang sudah ditelan ombak. Ada pula rumah penduduk yang dimasuki air ketika air pasang kerana pantai sudah semakin dekat dengan rumah mereka. Ini menyebabkan kerisauan, mengenai keselamatan dan juga ancaman kemusnahan harta benda. Walaupun ada benteng yang dibina, tetapi ianya tidak mencukupi, dan tidak dapat menangani masalah hakisan pantai apatah lagi, menjelang musim tengkujuh.
Di Johor ada beberapa kawasan menghadapi masalah hakisan pantai. Antaranya seperti di Kg. Seri Menanti, Muar, Taman Sri Pantai, Pontian dan juga di kawasan saya di kawasan Tanjung Piai. Taman Negara Tanjung Piai ini diwujudkan bagi melindungi hutan bakau yang menghadapi masalah hakisan yang serius disebabkan oleh ombak kuat dan pencemaran daripada kapal-kapal yang melalui laluan dari Selat Johor, Selat Melaka dan Singapura. Saban tahun, Tanjung Piai juga tidak terkecuali daripada mengalami hakisan tanah. Walaupun mempunyai pokok bakau yang mana antaranya berfungsi untuk menampan fenomena tanah hakisan. Hakisan pantai juga tidak ditangani dengan baik akan mencetuskan permasalahan bukan sahaja pada penduduk kawasan itu, tetapi juga pada pengunjung yang mengunjungi pantai yang terhakis.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi adalah perlu diwujudkan usaha untuk mengurangkan kesan hakisan pantai secara terancang. Fungsi hutan secara semula jadi adalah untuk menakung dan menyimpan air, tetapi apabila hutan ditarah sesuka hati, dan semakin banyak pembalakan dan pembukaan kawasan baru, maka secara relatifnya daya tampungan hutan itu menyimpan air hujan semakin berkurangan. Menjunjung titah Tuanku Sultan Johor semasa titah Diraja, 16 Mac lepas, Baginda juga ada bertitah dan bertegas supaya Bangsa Johor melestarikan alam sekitar dengan membudayakan amalan mesra alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Baginda juga ada mengingatkan supaya setiap bentuk pembangunan yang dilakukan di negeri ini, di kawasan bukit ataupun tanah tinggi mestilah mengekalkan bentuknya. Jika Baginda Sultan sendiri cakna dan peka mengenai hal ini, jadi apa alasan untuk pemaju dan kita semua untuk melakukan tindakan yang sama.
Di bawah Fasal 32(viii) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor saya juga ingin menyokong rundingan agar penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana yang anggotai dan dibarisi oleh Ahli Dewan Negeri merentasi parti politik yang berperanan dalam memberi nasihat dan memantau hal-hal berkaitan perubahan iklim dan bencana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon menyokong. Terima kasih, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum Dewan ini saya tangguhkan, saya dan seluruh Ahli Dewan Negeri Johor ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh mangsa banjir di negeri ini. Dewan ini turut merakamkan ucapan penghargaan, setinggi-tinggi terima kasih kepada jabatan-jabatan kerajaan dan sukarela juga sukarelawan yang sentiasa bersiap siaga tanpa mengenal penat lelah dalam membantu mangsa banjir di negeri ini.
Saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan semoga segala amal ibadah kita diterima Allah SWT dan semoga Ramadan ini menjadi Ramadan yang lebih baik daripada Ramadan-Ramadan yang sebelumnya. Pada masa yang sama, bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan rawatan sahabat kita Yang Berhormat Mahkota yang sedang diuji kesihatannya. Semoga beliau dianugerahkan kesembuhan sepenuhnya dalam kadar yang segera.
Akhir sekali saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin. Pada masa yang sama tidak lupa soal pemberian Yang Berhormat Datuk Menteri Besar tadi sesungguhnya ia memberi kelegaan kepada Ahi-Ahli Yang Berhormat yang menjadi mangsa keadaan kepada mangsa-mangsa banjir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.02 pagi.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis Encik Mohd Farid bin Kassim
Penolong Jurutulis Encik Azlan Afandi bin Sauffee Afandi
Koordinator Cik Norzita binti Abdul Aziz
Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hajah Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinnazia binti Fuad
Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar