Johor · 15 June 2023

2nd session, 2nd meeting · 110 turns · 10,752 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai anggota Legislative, kita berperanan untuk menguatkan sendi-sendi untuk bernegara dan berbangsa. Dewan Negeri adalah tempat mulia, untuk kita berbahas, membicarakan isu-isu ekonomi rakyat dan ekonomi negeri. Ekonomi rakyat termasuklah isu-isu kecukupan makanan, food security, kualiti pendidikan, kemudahan api dan air, perumahan dan peluang pekerjaan. Ia mesti seiring dengan ekonomi negeri seperti kemasukan pelaburan asing dan dasar-dasar yang mampan. Tahniah, kerana Johor negeri teratas menerima kemasukan pelabur asing tahun 2022 sebanyak RM70.6 bilion dan dapat menyediakan hampir 12,000 peluang pekerjaan. Justeru, saya menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terus memajukan dan memelihara integriti Dewan Negeri Johor seiring dengan hala tuju maju Johor yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Terima kasih.

Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 6 Tahun 2023.

Bilangan 6 Tahun 2023 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Pertama Tahun 2023.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 7 hingga 22 Tahun 2023.

Bilangan 7 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Johor Bahru Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 8 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 9 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 10 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kulai Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 11 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Muar Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 12 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Batu Pahat Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 13 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kluang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 14 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Segamat Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 15 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pengerang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 16 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pontian Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 17 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Kota Tinggi Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 18 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Tangkak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 19 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Yong Peng Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 20 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Simpang Renggam Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 21 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Mersing Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Bilangan 22 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Majlis Daerah Labis Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 23 Tahun 2023.

Bilangan 23 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Stadium Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.

Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Pagi ini soalan saya yang pertama.

Minta dinyatakan apakah perancangan kerajaan negeri untuk memastikan kesesakan di CIQ BSI dan KSAB dapat dikurangkan dengan menambah kapasiti dan pembesaran bangunan bagi memudahkan pergerakan trafik.

Speaker

Sila. Dijemput Yang Berhormat Semarang.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan nombor 2.

Sejak kebelakangan ini, kita sering melihat YAB Menteri Besar mengadakan lawatan ke CIQ secara rasmi mahupun mengejut. Boleh YAB bentangkan pada Dewan, apa sebenarnya punca masalah kesesakan di sana dan apakah langkah yang sudah dan akan diambil untuk menyelesaikan isu tersebut?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Bincangkan usaha dan perkembangan penambahbaikan kelancaran trafik di CIQ BSI dan CIQ KSAB.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Seri Medan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

YAB MB kerap memberi tumpuan kepada CIQ terutama sekali BSI dengan melakukan lebih 10 lawatan tidak termasuk lawatan mengejut. Apakah punca yang menjadikan isu kesesakan di BSI ini? Apakah perubahan yang telah, sedang dan akan kita saksikan?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera, soalan saya nombor 5.

Sejak kebelakangan ini isu kesesakan di Tambak Johor dilihat amat serius. YAB MB hampir setiap hari menjalankan "spot check" dan telah mendapat respons positif daripada rakyat. Boleh YAB nyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Salam sejahtera Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Nyatakan usaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan KSAB dan langkah-langkah yang akan diambil.

Speaker

Sila Yang Amat Berhormat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Benut, Semarang, Stulang, Seri Medan, Parit Yaani dan Johor Jaya yang telah mengemukakan soalan mengenai perkembangan di CIQ BSI dan KSAB.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, ingin mengetahui apakah punca sebenar masalah kesesakan di sempadan yang tersibuk di dunia. Sempadan yang lebih tersibuk daripada China dan Macau, mahupun Amerika Syarikat dan langkah yang telah dan sedang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu yang telah sekian lama membelenggu Bangsa Johor, berdekad-dekad lamanya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah turun padang ke CIQ BSI sebanyak 60 kali, manakala CIQ KSAB sebanyak 14 kali. Dan, saya serta YB Fazli Salleh akan terus turun ke lapangan sehingga isu ini selesai secara konsisten, insya-Allah. Ada dua sebab kenapa kami memilih untuk bertindak sebegini. Pertama, umum mengetahui 300,000 rakyat Malaysia menggunakan kedua-dua laluan ini hampir setiap hari demi mencari sesuap nasi. Sebahagian daripada mereka turut berasal dari Machap, Benut, Semarang, Stulang, Seri Medan, Parit Yaani, Johor Jaya, malah seluruh negeri Johor. Mereka terpaksa bangkit dari tidur seawal jam 3.00 pagi, tak kala kita masih lena diulit mimpi, untuk pergi bekerja dan pulang ke rumah selewat 10.00 malam setiap hari. Sudah pasti kualiti kehidupan mereka begitu terkesan disebabkan perkara ini. Bukan hanya lelah dan tidak cukup rehat Datuk Speaker, malah kesihatan juga pastinya terkesan akibat berhujan dan berpanas dalam menempuh perjalanan.

Itu belum disentuh lagi tentang masa yang mereka ada untuk keluarga dan anak-anak. Semestinya dikorbankan, semuanya dikorbankan demi membawa rezeki ke meja demi memberikan sebuah kehidupan buat keluarga, isteri, suami, anak-anak dan juga kedua ibu bapa. Setiap individu yang berulang alik, lazimnya mempunyai isteri atau suami dan sekurang-kurangnya dua orang anak. Ini bermakna, secara tidak langsung, isu ini memberi kesan kepada 1.2 juta Bangsa Johor, 30% daripada jumlah keseluruhan Bangsa Johor. Setiap jam yang mereka gunakan untuk mengharungi kesesakan adalah masa yang mereka korbankan daripada keluarga tercinta. Bayangkan, kalau kita semua yang berada di dalam Dewan ini, terpaksa mengharungi perkara yang sama setiap hari, mampukah kita? Bagaimanakah agaknya perasaan kita dan dengan amanah serta tanggung jawab yang tergalas di bahu setiap yang berada di dalam Dewan yang mulia ini, tergamakkah kita hanya membiarkannya terus-terusan menutup sebelah mata. (Bacaan hadis). Yang bermaksud, barang sesiapa yang mempermudahkan urusan mereka yang berada di dalam kesusahan, nescaya Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Hadis Riwayat Muslim. Secara peribadi, saya juga percaya bahawa memperjuangkan kebajikan dan nasib 1.2 juta Bangsa Johor ini bukanlah hanyalah satu ibadah tetapi juga adalah satu amanah dan tanggung jawab kepada kita yang akan dibangkit dan dipersoalkan di Yaumil Masyar nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab kedua, kerajaan negeri memberi penekanan kepada isu kesesakan di kedua-dua CIQ ini adalah kerana kesannya kepada ekonomi negeri Johor dan Malaysia secara keseluruhan. Dengan izin, Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi saya, every second wasted on the causeway, is a second not spent on Johor’s Economy. Setiap saat yang dibazirkan di Tambak Johor dan Second Link, kerana kesesakan, pastinya mempunyai impak kepada ekonomi dari segi pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan, hartanah dan banyak lagi. Ramai yang mungkin risau dan fobia disebabkan pengalaman mengharungi kesesakan trafik sebelum ini.

Ia menjadi antara isu dan kekangan untuk pelabur dan pelancong masuk ke Johor. Namun, jika perkara ini dapat diselesaikan secara konsisten kerajaan negeri percaya ia akan memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur juga keselesaan yang menggalak para pelancong untuk berkunjung ke Johor dan Malaysia. Hasrat kerajaan negeri, tidak lain dan tidak bukan, adalah demi memperluaskan limpahan ekonomi yang terjana agar semua lapisan masyarakat di Johor dapat merasai.

Sebagai contoh, Datuk Speaker, baru-baru ini sebuah syarikat yang bernama Jetstar Motion yang berpangkalan di China, telah membuka kilangnya di Johor dengan nilaian pelaburan RM300 juta dan menawarkan 600 peluang pekerjaan. Mereka telah menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana aliran trafik antara Johor dan Singapura semakin lancar dan atas sebab itu, mereka akan melabur sebanyak RM100 juta lagi untuk mengembangkan perniagaan mereka di sini. Mereka turut akan menggalakkan pembekal-pembekal mereka dari China untuk turut membuka perniagaan mereka di bumi bertuah

Johor ini. Pemain-pemain industri pelancongan pula, telah memaklumkan bahawa perniagaan mereka juga semakin rancak disebabkan aliran trafik yang lebih baik. Kerancakan sektor pelancongan ini pastinya begitu diharapkan dan memberikan kelegaan yang sekian lama dinantikan setelah mereka begitu teruk terkesan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua-dua CIQ ini, saya ibaratkan seperti jantung, jantunglah yang memberi denyut nadi serta berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh anggota badan, tanpa peranan yang dimainkan oleh jantung seluruh sistem badan kita tidak akan dapat berfungsi dengan baik. Apabila satu atau lebih saluran jantung tersumbat, mungkin akibat faktor genetik, gaya hidup ataupun pemakanan yang tidak sihat, mahupun tabiat merokok, jantung tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan kita berkemungkinan akan menghadapi serangan jantung yang turut boleh membawa maut.

Dari segi konteks jantung CIQ ini pula, antara punca kesesakan yang berlaku adalah seperti berikut. Sebagai contoh, kekurangan staf, Yang Berhormat Datuk Speaker, di CIQ BSI, tenaga kerja Imigresen yang diperlukan adalah seramai 1,200. Yang ada di lapangan, hanya 700. Kita kekurangan 500 pegawai Imigresen itu baru di BSI. Masalah infrastruktur, di mana telekomunikasi elektronik dalam bangunan, interkom aje, dah lebih setahun rosak, kekurangan sticker M-Bike, kekurangan bas penumpang dan jadual perkhidmatan bas yang tidak sistematik, gred jawatan yang tidak setara dengan beban kerja, sistem pasport yang sudah lama, sering mengakibatkan sistem tergendala, pergerakan lori dan kenderaan berat yang sering bersaing dengan kenderaan-kenderaan lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, semua ini adalah antara punca-punca yang berlakunya kesesakan di Tambak Johor dan Second Link dan setelah mengenal pasti punca-punca ini maka kita perlu mencari jenis rawatan yang perlu diberikan untuk memastikan jantung kita ini berfungsi dengan baik. Adakah kita perlu melaksanakan pembedahan by-pass atau pasangkan stand atau bagi ubat pencair darah atau redha sahaja. Dalam hal ini, saya ibaratkan perlaksanaan projek Rapid Transit System atau lebih dikenali sebagai RTS, sebagai pembedahan bypass. Namun, prosedur bypass ini hanya akan selesai pada tahun akhir tahun 2026. 4 tahun lagi Datuk Speaker. Masa yang cukup lama. Jadi, persoalan yang cukup penting bagi kerajaan negeri adalah apa yang perlu dilakukan agar isu ini mendapat rawatan sewajarnya sementara pembedahan bypass tersebut berlaku. Adakah kita hanya perlu menanti dan terus menanti?

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri tidak memilih untuk hanya menanti, sebaliknya mengambil langkah rawatan segera bagi mengatasi masalah yang menggusarkan banyak pihak ini. Sementara menunggu pengoperasian RTS, antara usaha-usaha jangka pendek yang telah dan sedang dilakukan adalah seperti berikut :

Yang pertama, menempatkan 100 Pegawai Imigresen tambahan pada bulan Jun ini dan saya mendapat makluman pada bulan September ini akan ada tambahan 250 Pegawai Imigresen. (Dewan bertepuk). Kita juga menambahkan bilangan bas penumpang dan penambahbaikan jadual perkhidmatan bas Causeway Link Handal Indah, bas syarikat Singapore SDS Transit, SMRT bagi kemudahan pengguna. Pengubahsuai kedudukan e-Gate menambah 104,000 stiker M-Bike kawalan aliran trafik terutama di laluan bas oleh RELA, JPJ, Polis Bantuan, PDRM, PAJ dan juga APAD. Mempercepatkan tempoh masa palang bermotosikal, menyelenggara dan membaik pulih bilik air, lif dan escalator. Membuka ruang tempat letak kenderaan bermotor untuk pegawai dan orang awam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri tidak hanya meminta, mendesak dan menyerahkan kesemuanya kepada kerajaan persekutuan semata-mata. Kita bergerak sebagai satu pasukan. Dengan rendah diri, saya ingin berkongsi sedikit tentang usaha dan sumbangan dari kerajaan negeri dan agensi kerajaan untuk membantu BSI dan KSAB.

Antaranya menaik taraf keperluan dan bilik rehat di kedua-dua BSI dan KSAB. Melakukan kerja-kerja tambahan dan pengubahsuaian awning di laluan motosikal, menaik taraf peralatan dan kelengkapan Pegawai Imigresen, pemasangan portable aircond, cooler untuk keselesaan pegawai-pegawai, memasang kipas industri di ruang menunggu penumpang bas, menaik taraf ruangan solat dan pembekalan peralatan solat oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sedar dan insaf bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan ini menuntut penglibatan semua pihak terutamanya kerajaan persekutuan. (Bacaan hadis Nabi) yang bermaksud, “tidak dikatakan bersyukur kepada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih kepada manusia, “ daripada Abu Hurairah R.A, sabda junjungan Nabi Muhammad SAW. Saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslim bin Jusoh. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Yang Berhormat Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Ketua Pengimbang kita, Yang Berhormat Tuan Andrew Chen Kah Eng; Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar, Yang Berhormat Datuk Pandak bin Ahmad; pihak Jabatan Kerja Raya yang selalu bersama-sama saya turun ke lapangan untuk membantu menyelesaikan isu di BSI dan KSAB.

Speaker

Oh, YB Pandak memang selalu ikut, YB eh...

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Dia memang rajin Datuk Speaker.

Speaker

Ok, dia memang hebat.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Semalam diuji dengan bencana banjir pula. Insya-Allah, mangsa-mangsa banjir di kawasan Datuk Pandak ini akan dibantu oleh kerajaan negeri. (Dewan bertepuk).

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada hari ini juga Datuk Speaker, ada sekumpulan individu yang kerajaan negeri jemput khas untuk bersama-sama kita pada pagi yang cukup bermakna. Kumpulan ini merupakan insan-insan yang cukup istimewa dan dekat dengan hati saya. Merekalah yang bekerja keras siang dan malam, memerah minda, mencari akal dan solusi bagi memastikan masalah kesesakan di BSI dan KSAB dapat diatasi. Mereka berkongsi rasa dan aspirasi yang sama, berganding bahu bergerak serentak, senada dan seirama dengan kerajaan negeri bagi memastikan masalah yang menghimpit 300,000 Bangsa Johor ini dapat ditangani dengan segera. Insan-insan istimewa yang hebat dan tidak didendang ini sedang duduk di belakang sana Yang Berhormat Datuk Speaker. (Dewan bertepuk).

Dengan hati yang penuh tulus dan ikhlas, bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, atas segala kerjasama, komitmen tidak belah bagi demi melancar dan melegakan keadaan di CIQ BSI dan KSAB. (Dewan bertepuk). Mereka ini jugalah yang memungkinkan segala apa yang dibincang dan digagaskan setiap kali saya dan rakan-rakan turun ke lapangan bagi mencari penyelesaian dapat dilaksanakan secara tuntas dan berkesan. Dan melihat kepada semangat, kesungguhan dan komitmen mereka, saya percaya segala langkah penyelesaian yang telah diambil dan dilaksanakan bukanlah hanya ibarat hangat-

hangat tahi ayam tetapi akan terus dan akan terus dilaksana, diperkasa, ditambah baik untuk masa-masa yang akan mendatang. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih Bangsa Johor, sama-samalah kita memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada wira-wira sempadan ini. (Dewan bertepuk).

Percayalah, dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab demi rakyat dan demi negara, anda tidak akan pernah bersendirian. Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi sokongan dan dokongan agar usaha anda tidak pernah sia-sia. Bahawa segala curahan keringat, idea dan komitmen akan sentiasa ditunjang, diampuh bersama demi kemaslahatan semua. Ia tidak mudah, namun ia juga tidak mustahil.

Hari ini sama-sama kita menyaksikan bahawa sekiranya yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, tiada gunung yang terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah yang terlalu curam untuk dituruni, kerana sesungguhnya bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Amat Berhormat Machap. 4 pagi lagi dah turun ke CIQ. Orang lain masih lagi dalam pelukan bantal ya. Bantal yang peluk dia.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bukan isteri eh...

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput soalan tambahan, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para pemerhati daripada pihak Pengurusan Jabatan Imigresen Johor Bahru, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Negeri Johor, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Dalam Negeri, seramai 30 orang. Kita juga mengalu-alukan pemerhati daripada kawasan DUN Bukit Naning seramai 14 orang, daripada kawasan DUN Puteri Wangsa, 4 orang; daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia satu orang dan pemerhati daripada kawasan DUN Layang-Layang, satu orang. (Dewan bertepuk).

Dijemput Yang Berhormat Benut.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas penekanan dan juga penjelasan yang dibuat. Saya percaya Yang Amat Berhormat tentunya ada visi dan misi yang jelas untuk membawa negeri Johor ini terus makmur dan terus maju ke hadapan lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjayakan 6 Teras Maju Johor.

Mengikut kepada penjelasan Yang Amat Berhormat sebentar tadi, saya yakin dan percaya bahawa kita lega kerana ianya antara lain bertujuan untuk menjamin laporan RM70.6 juta, bilion itu, RM70.6 bilion itu dapat direalisasikan, malah saya mendapat maklum bahawa negeri Johor pada suku pertama ini pun telah menerima lebih RM10 bilion pelaburan yang datang. Maka antara penekanan Yang Amat Berhormat telah berikan ialah untuk memastikan infrastruktur kita berada dalam keadaan terbaik. Pagi ini Yang Berhormat jelaskan tentang BSI, tentang KSAB betapa perlu pentingnya kita memberi kepastian, keselesaan kepada pengguna, infrastruktur tersebut. Bukan itu sahaja, saya melihat Yang Amat Berhormat juga menyelesaikan soal jalan, turun ke lapangan untuk melihat supaya keadaan jalan kita berada dalam kedudukan yang terbaik. Malah kebersihan sungai juga diberi penekanan oleh Yang Amat Berhormat. Ini antara pendekatan, penekanan Yang Amat Berhormat berikan untuk memastikan negeri Johor ini terus dapat melaksanakan perancangannya.

Jadi, Yang Amat Berhormat, soalan saya yang seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker ialah, apakah langkah-langkah yang seterusnya dalam usaha Yang Amat Berhormat untuk,

kalau boleh saya rumuskan sebagai memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat Johor melalui usaha-usaha yang akan dan bakal Yang Amat Berhormat laksanakan? Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Benut atas soalan yang diajukan kepada saya. Pertama-tamanya, saya nak ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Benut yang juga merupakan Menteri Besar Johor yang ke-18 yang telah memberikan Johor ini satu asas yang kukuh untuk kita terus mara ke hadapan. Dan, seperti yang disebut tadi, Johor ini mempunyai visi untuk menjadi sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2030. Dan, kalau kita tengok dari segi kemampuan kita, saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi bahawa perkara itu boleh menjadi satu realiti kalau kita semua bekerjasama menggembleng tenaga untuk memastikan visi itu kita bergerak sekali.

Dan kita hendak tengok dari segi pendapatan orang Johor meningkat. Yang Berhormat Benut sebut tadi tentang infrastruktur dan sebagainya, pelaburan dan sebagainya. Ini semuanya perlu kita laksanakan untuk menjadikan Johor sebuah negeri yang maju. Namun begitu, dalam kita hendak melihat lebih jauh, dalam masa jangka masa pendek ini Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa isu ataupun perkara yang perlu kita tangani bersama. Dan saya di sini tidak ada niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Kita hendak move forward, kita hendak melihat ke hadapan. Isu CIQ ini, bukan daripada zaman saya lagi berlaku, tetapi daripada zaman dah belas-belas tahun Tan Sri SS, berdekad-dekad dah berlaku Dato’ Hasni. Jadi, isu legasi kita semua tahu ada beberapa isu legasi yang lain. Isu jalan pun bukan hari ini baharu berlaku, berdekad-dekad dah berlaku. Isu hospital, HSA 2 yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri berapa RMK dah kita minta, tak dapat-dapat juga. Ini semua isu-isu yang perlu diselesaikan. Saya kata begitu Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah kerana dalam kita hendak jadi sebuah negeri yang maju, tak akan kita nak tutup sebelah mata berpura-pura bahawa isu-isu ini tidak selesai lagi, tidak ada. Kita perlukan penyelesaian dan perkara ini tidak boleh selesai tanpa bantuan kerajaan persekutuan.

Dan, suka saya hendak laporkan bahawa Yang Berhormat Datuk Speaker, antara perkara yang kerajaan negeri sedang perjuangkan ialah hospital HSA 2. Ini sedang dibincangkan dengan teliti di peringkat kementerian dan semasa perjumpaan barisan EXCO bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, insya-Allah perkara ini akan diluluskan dalam masa terdekat.

Isu HSI Yang Berhormat Datuk Speaker, baharu-baharu ini viral di mana dua wad HSA, wad 9A dan wad 10A tutup semenjak zaman COVID-19 lagi. Sukacita saya hendak laporkan berkat kerjasama agensi-agensi di peringkat negeri dan juga persekutuan, wad 9A dan 10A dah mula buka semalam, 108 katil boleh dimasukkan. Isu yang membelenggu kita lagi ialah isu-isu jalan. Saya sering bergurau Datuk Speaker, jalan-jalan di Johor adalah antara jalan yang tercantik di dunia. Macam berjalan dekat bulan. Tetapi syukur Alhamdulillah, sekali lagi berkat kerjasama kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri baru-baru ini, Datuk Speaker, YB Fazli dan saya berjumpa dengan Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander, Menteri Kerja Raya kita minta RM23 juta Datuk Speaker, dia lulus RM60 juta. (Dewan bertepuk).

Tidak cukup dengan itu, dari segi perkara yang kita perlu tangani bersama ialah pencemaran dan kebersihan. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Anuar Manap dan juga 13 Jawatankuasanya yang baru-baru ini pergi ke Singapura untuk melihat macam mana kita hendak tangani isu Climate Change dan pencemaran. Insya-Allah bulan sembilan ini mereka akan bentangkan di dalam Dewan yang mulia ini gerak kerja dan juga time line untuk kita tangani masalah isu legasi ini. Sebab Yang Berhormat Speaker, saya kata begitu kerana kalau kita hendak tunggu projek-projek tebatan banjir hendak siap, dia akan ambil masa tiga-empat tahun lagi. Saya yakin dan percaya, macam mana kita bersama menyelesaikan isu-isu di Tambak Johor dan juga KSAB, ada perkara-perkara yang

kita boleh selesaikan dalam masa terdekat. Sama juga dengan banjir. Kita boleh letak sensor, they can be a better warning system dan sebagainya. Ini perkara-perkara quick wins yang kita boleh buat bersama.

Jadi, Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada itu kerajaan negeri juga memberi pendekatan, penekanan dari segi pendidikan, dari segi perumahan, dari segi kebajikan, kita hendak pastikan Johor dalam masa jangka masa pendek ini kita hendak eradicate miskin tegar di Johor. Dekat Johor ada 4,000 lebih Yang Berhormat Benut mereka yang dalam kategori miskin tegar. YB Khairin dan juga YB Fared selaku EXCO yang bertanggungjawab akan bantu menyelesaikannya insya-Allah. Itu sedikit sebanyak jawapan saya untuk Yang Berhormat Benut pada pagi ini. Terima kasih.

Speaker

Yang Amat Berhormat Machap, kalau boleh ada ruang masa buatlah spot check di tempat saya di Rengit itu, 10 minit sahaja daripada Simpang Renggam ya. Dia kena Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga yang turun.

Sebelum saya jemput Semarang dahulu, saya ingin juga mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 36 orang daripada kawasan DUN Machap (Dewan bertepuk) dan 2 orang daripada kawasan DUN Mahkota. Tahniah. Jemput, Semarang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat di atas jawapan yang telah diberikan. 60 kali ke BSI dan 14 kali ke KSAB, satu iltizam yang hebat. Soalan tambahan saya, apakah langkah-langkah yang akan dilakukan bagi mengelakkan insiden seperti yang berlaku pada 1 Jun yang lalu tidak berulang lagi? Dan apakah langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang untuk menyelesaikan isu-isu kesesakan di CIQ ini? Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Semarang atas soalan. Kesesakan yang berlaku di kedua-dua BSI dan KSAB pada 1 Jun ini adalah perkara yang sering berlaku bila ada cuti umum yang digabungkan dengan cuti hujung minggu dan ditambah teruk lagi disebabkan cuti sekolah di Singapura. Ini kombinasi yang melibatkan limpahan manusia, saya di fahamkan dalam tempoh hanya 2-3 jam seramai 300,000 orang masuk serentak. Jadi, sebab itu ada gambar-gambar yang viral di BSI sampai je, beratur ditangga sampai ke bawah. Jadi, apabila mengadakan perbincangan dengan pihak Imigresen dan juga BSI antara perkara yang dibincangkan kemungkinan adalah untuk mengadakan laluan kontra untuk kawasan out bound. Jadi, bila orang daripada Singapura masuk ke Johor melalui in bound kita, kita juga akan boleh mungkin buka out bound untuk digunakan supaya mereka dapat clear passport mereka. Itu antara perkara yang disyorkan oleh pihak kerajaan negeri yang perlu mendapat kelulusan di peringkat Kementerian Dalam Negeri.

Tidak cukup dengan itu kita juga akan buat dry run seminggu sebelum mana-mana insiden seperti ini akan berlaku lagi. Sebagai contoh, kita jangka pada 12 November akan ada perayaan Deepavali. Ini pun akan ramai yang masuk, Krismas pada 25 Disember ini pun tarikh ini juga kita jangka akan berlaku kesesakan yang luar biasa. Saya hendak larang orang masuk ke Johor tak boleh Datuk Speaker, kita hendak alu-alukan kehadiran mereka kerana mereka juga akan menyumbang kepada ekonomi kita tetapi kita hendak cari cara yang lebih baik untuk dapat mengurangkan kesesakan. Anggota-anggota keselamatan juga akan ditambah, pegawai-pegawai RELA akan ditambah dan juga kita akan pastikan dengan bantuan PDRM lepas ini kalau ada mereka yang memotong que bukan sahaja akan disaman, tetapi mereka akan juga diminta U-turn, patah balik ke Singapore. Sekian sahaja jawapan saya untuk Yang Berhormat Semarang. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput YB Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih kepada Datuk Speaker dan juga Dato’ MB. Saya cukup setuju dengan Datuk MB yang mengatakan bahawa setiap saat yang dibazirkan di tambak kerana kesesakan adalah setiap saat yang dibazirkan dalam ekonomi Johor. Dan, berkenaan limpahan orang Deepavali, Krismas, cuti sekolah dan sebagainya, di sini untuk minggu depan, selain itu minggu depan 23 hingga 25 Jun artis terkenal Hong Kong, Aaron Kwok akan datang ke Genting Highlands, Jacky Cheung artis Hong Kong terkenal akan datang ke Axiata Bukit Jalil, 11 hingga 13 Ogos, 18 sehingga 20 Ogos. Jadi, bila keadaan kalau ada konsert-konsert yang luar biasa ini akan ada limpahan banyak bas akan masuk. Jadi, dijangkakan ada 300 lebih ataupun lebih daripada akan masuk ke Malaysia melalui BSI dan KSAB. Kalau sekali masuk saya rasa pasti jammed. Jadi, cadangan saya adalah di KSAB perlu bersedia JIM dengan kaunter lebih, kawalan laluan bas yang lebih atau pun buka laluan di sebelah ataupun saya pada masa hadapan, Tourism Johor ataupun PAJ ataupun agensi yang berkaitan boleh sentiasa mendapatkan info daripada syarikat bas supaya kita boleh tahu bilakah akan ada limpahan bas yang masuk supaya kita boleh bersiap sedia setiap kali.

Yang kedua, minta izin berkenaan dengan Malaysia Digital Arrival Card, saya rasa rakyat Singapore telah pun dibenarkan menggunakan e-Gate kita untuk automatic clearance dengan syarat berdaftar di kaunter manual sekali dan yang kedua adalah mengisi MDAC online sebelum setiap kali masuk Malaysia. Jadi, sekarang keadaan yang berlaku adalah sebelum mereka masuk mereka tidak isi MDAC, kalau mereka tak isi MDAC, maksudnya mereka kalau beratur di kaunter e-Gate lepas itu mereka perlu pergi ke kaunter manual lagi, ini melambatkan proses. Jadi, saya rasa adalah tanggungjawab setiap orang, tidak kira rakyat Malaysia, rakyat luar negara, tanggungjawab setiap orang bila masuk BSI, masuk KSAB kita ada tanggungjawab bersama-sama untuk menolong melancarkan semua proses clearance. Jadi, saya mencadangkan ya...

Speaker

Ok, Yang Berhormat.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Berharap kerajaan Malaysia dan Singapura agar mewar-warkan kepentingan mengisi MDAC sebelum masuk ke Malaysia supaya membantu proses clearance dan elakkan kesesakan untuk memanfaatkan semua pihak. Terima kasih.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Stulang atas soalan tersebut. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya anggap Yang Berhormat Stulang ini antara subject method expert, when it comes to kita punya BSI dengan KSAB. Saya mengalu-alukan cadangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Stulang tentang konsert yang akan berlangsung tidak lama lagi di Genting ya Yang Berhormat? Saya difahamkan ramai orang akan datang melalui Tambak Johor ini, dan insya-Allah saya rasa tidak menjadi masalah untuk pihak JIM untuk berbincang dengan pihak kerajaan negeri untuk sama-sama mencari pendekatan yang terbaik mungkin kita dah boleh fikir-fikirkan menggunakan suggestion untuk gunakan lane contra yang kita bincangkan sebelum ini. Mungkin kita boleh awalkan inisiatif tersebut.

Keduanya dari segi MDAC, memang perkara ini sudah mula dilaksanakan di BSI dan juga KSAB, cuma ramai yang mungkin menggunakan alasan bahawa tidak ada Internet untuk mereka mengisi borang di kawasan imigresen tersebut. Jadi, untuk pengetahuan Yang Berhormat Andrew, kita sebenarnya di peringkat kerajaan negeri telah bantu memasang wifi di kawasan imigresen tersebut jadi tidak ada alasanlah untuk mana-mana pihak yang perlu menggunakan kemudahan tersebut untuk mengisi borang supaya mereka bole menggunakan MDAC Facility, insya-Allah. Dan kita juga akan bantu dari segi mewar-warkan video penggunaan sistem ini insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Dewan sekali lagi mengucapkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Imigresen Johor Bahru, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Johor, Jabatan

Pengangkutan Jalan dan Kementerian Dalam Negeri di atas kerjasama itu. (Dewan Bertepuk).

Di jemput Yang Berhormat Tiram.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 7.

Berapakah jumlah program dan peruntukan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk Program Johor Bersih? Apakah keberkesanan daripada pengenalan program ini kepada negeri Johor secara keseluruhannya?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Skudai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.

Untuk menjayakan Agenda Johor Bersih, tidak cukup hanya dengan bergotong royong. Apakah tindakan kerajaan dari segi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan setiap rakyat mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.

Terima kasih Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Nyatakan bajet yang telah dibelanjakan bagi inisiatif Johor Bersih dan apakah pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah Binti MisriUMNO · BNPenawar

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.

Apakah tahap perkembangan terkini Program Johor Bersih yang dilancarkan oleh kerajaan pada tahun lepas dan adakah kerajaan bercadang untuk meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) supaya dapat meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan masyarakat?

Speaker

Ya sila.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tiram, Yang Berhormat Skudai, Yang Berhormat Puteri Wangsa dan Yang Berhormat Penawar. Soalan Yang Berhormat mengenai selaras Agenda Maju Johor Teras 5. Berkaitan dengan keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana sedia maklum, Kempen Johor Bersih telah diumumkan semasa Majlis Amanat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 14 Julai 2022. Kempen ini adalah teraspirasi daripada Bandar Muar yang telah diiktiraf sebagai Bandar Pelancongan Terbersih di Asia. Majlis Perbandaran Muar telah dilantik bagi mengetuai Sektor Kebersihan. Pada 2 Julai 2022, pelancaran Johor Bersih di seluruh 16 PBT telah diadakan serentak. Pelancaran Johor Bersih di peringkat zon-zon Ahli Majlis yang

melibatkan 384 zon telah diadakan di Pontian pada 22 Oktober 2022 melibatkan lebih 10,000 peserta. Program Johor Bersih Perdana pula telah diadakan pada 7 Mei 2023 di Legaran Segget Bandaraya Johor Bahru dan dihadiri seramai 1,500 orang dan berat sampah yang berjaya dikumpulkan adalah 694 kilogram.

Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti plogging atau jalan angkat (PJA) dilaksanakan pada setiap hari Ahad meliputi pelbagai lokasi termasuklah di kawasan-kawasan kampung, pedalaman dan melibatkan pelbagai pihak. Selama 11 bulan sejak Program Johor Bersih dilancarkan sehingga 28 Mei 2023, sebanyak 311,000 kilogram sampah telah berjaya dikutip di semua 16 PBT Negeri Johor dengan anggaran penglibatan lebih 20,000 orang. Melibatkan jabatan negeri, jabatan persekutuan, Ahli-Ahli Majlis, SWCorp, SWM, pelesen-pelesen PBT dan juga penduduk setempat. Bagi tujuan menjayakan Agenda Johor Bersih sebagaimana dipersetujui oleh Mesyuarat Penyelarasan Bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 29 Mei 2023, Program Johor Bersih memerlukan penglibatan semua pihak termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan, pejabat-pejabat daerah, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) serta jabatan dan agensi yang lain, Southern Volunteers, badan bukan NGO, juga masyarakat setempat seperti pemilik premis, bank-bank dan juga hotel di kawasan sekitar. Selain itu, sidang mesyuarat juga telah bersetuju bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Johor melaksanakan zon Johor Bersih dengan merujuk pelaksanaan yang telah dijalankan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru yang diketuai oleh Yang Berhormat Dato’ Noor Azam.

Untuk penguatkuasaan undang-undang pula, cadangan pindaan Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974, Akta 133 melibatkan bidang kuasa kerajaan persekutuan, namun begitu, untuk menyeimbang peranan menjaga kebersihan alam sekitar di negeri ini, melalui penguatkuasaan oleh PBT, kerajaan negeri akan menyelaras larangan dan penguatkuasaan bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam di dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Johor dengan mengguna pakai punca kuasa yang seragam. Merujuk kepada Seksyen 46 dan 47, Akta Jalan Parit Bangunan 1974, Akta 133 yang diperhalusi oleh setiap PBT mengikut kepada kesesuaian Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan Jalan, Parit Dan Bangunan, di mana pesalah pelaku boleh dibawa kehadapan sesuatu Mahkamah Majistret apabila disabitkan kesalahan boleh didenda dan dikompaun serta dipenjara, mengikut pendakwaan bagi kesalahan-kesalahan yang dinyatakan dalam peruntukan tersebut. Selain itu, semakan perundangan juga sedang dibuat dalam proses kelulusan Pihak Berkuasa Negeri bagi melibatkan pelaksanaan, penyeragaman, penguatkuasaan, di bawah Undang-Undang Kecil mencegah kekotoran di bawah Akta 171, dimana mengenakan kompaun bernilai RM50.00 sehingga RM250.00 di lapangan oleh anggota penguat kuasa PBT. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Yang Berhormat.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Bukit Permai atas jawapan sebentar tadi. Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor atas usaha Johor Bersih yang telah melibatsamakan semua ADUN-ADUN di negeri Johor ini adalah satu usaha yang baik dan mulia. Saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri Johor membuat satu yang kita panggil pemetaan pencemaran atau pun dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, polution mapping untuk kita kenal pasti dari mana sebenarnya punca-punca pencemaran yang berlaku di sungai-sungai dan juga di kawasan-kawasan. Kalau tidak, tanpa pemetaan pencemaran tersebut setiap kali kita turun ke sungai orang di kawasan tersebut akan kata orang atas yang buang, orang atas yang buang sampai bila orang atas itu pun kita tak tau siapa Yang Berhormat Datuk Speaker, itu yang pertama.

Kedua, saya puji juga pemerkasaan akta untuk memberi kompaun yang lebih tinggi kepada individu dan syarikat yang membuang sampah namun begitu pemerkasaan ini juga memerlukan penguatkuasaan yang lebih rapi. Kalau kita lihat walaupun kita ambil tindakan di tempat pembuangan sampah yang haram, kita buang sampah-sampah itu dalam lagi dua tiga hari dah wujud balik sofa, TV, peti ais dan sebagainya di kawasan-kawasan tersebut. Ini juga adalah kerana kita tidak cukup anggota penguatkuasaan untuk betul-betul ambil tindakan kepada mereka yang membuang sampah merata-rata. Jadi saya ingin bertanyakan kepada Yang Berhormat EXCO, sekiranya ada apa-apa usaha daripada kerajaan negeri untuk menguatkuasakan lagi kita punya bahagian penguatkuasaan di kawasan-kawasan PBT, sekiranya ada cadangan ataupun perancangan untuk menambah perjawatan terutama sekali di bahagian penguatkuasaan PBT. Itu sahaja terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Puteri Wangsa. Di peringkat kerajaan melalui PBT memang sedang dalam usaha untuk membuat pemetaan untuk prevent for dengan izin, untuk pencemaran. Perkara ini sedang diperhalusi dan dalam gerak kerja di peringkat PBT-PBT dengan kerjasama di peringkat JPS.

Untuk makluman Dewan yang mulia, bila kita cakap tentang kebersihan atau plogging ini, kempen Johor Bersih, saya nak berkongsi sedikit bahawa kriteria Johor Bersih bukan setakat memungut sampah sahaja, atau penguatkuasaan sahaja, tetapi ia melibatkan seperti kawalan vektor atau kacau ganggu termasuk juga dalam kriteria Johor Bersih, premis makanan, gerai-gerai yang bersih termasuk juga dalam kriteria zon bersih. Tandas bersih, lanskap dan taman awam, pencahayaan, jalan raya dan papan tanda dan saliran ini juga termasuk dalam kriteria zon bersih. Jadi tuan-tuan Yang Berhormat sekalian, Datuk Speaker, kita sedar bahawa di peringkat masyarakat kita khasnya segelintir yang suka mengotorkan sungai-sungai kita. Baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Besar telah turun ke Sungai Skudai, seramai saya ingat lebih 1,000 orang sama-sama bergotong-royong. Kalau kita tengok keadaan sampah di situ mungkin sampah itu telah terkumpul lebih 10 tahun. Jadi usaha ini sedang dilakukan bersama kita nak mengajak semua masyarakat khasnya pemimpin-pemimpin kita melibatkan agensi kerajaan, agensi persekutuan supaya bersama untuk menjayakan Zon Johor Bersih ini. Jadi ini adalah kempen secara berterusan dan tentulah untuk jadikan bandar raya atau kawasan PBT atau kampung-kampung bersih ini memerlukan usaha yang berterusan dan di peringkat kerajaan negeri sudah tentulah memberi komitmen untuk memastikan bahawa Johor ini akan jadi negeri yang bersih setanding dengan negeri yang lain. Terima kasih.

Speaker

Saya rasa kita kena kaji apa yang ada di Korea Selatan, Yang Berhormat. Susah nak cari tong sampah, rupa-rupanya mereka bawa plastik sampah sendiri dan sampah mereka itu bawa balik ke rumah, buang di rumah. Saya jemput sekali lagi Yang Berhormat Tiram.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11.

Apakah perancangan kerajaan untuk mengatasi kerosakan jalan raya yang berulang? Apakah faktor yang menyebabkan kerosakan tersebut berulang dan kerap berlaku? Apakah teknologi yang digunakan di Malaysia di bawah standard antarabangsa?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera salam maju Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tiram. Kualiti setiap jalan diukur dengan menggunakan Unit IRI iaitu International Roughness Index. Unit ini menilai keadaan serta kerosakan dengan mengkategorikan setiap peringkat kerosakan.

Unit IRI ini berbeza-beza antara lorong-lorong laluan kenderaan. Jika ada dua lorong maka ada dua nilai yang berbeza bagi lorong kanan dan juga lorong kiri. Begitu juga bagi jalan yang memiliki tiga dan empat lorong. Purata nilai IRI ini ialah bagi setiap 100 meter jalan, selain mengambil kira nilai IRI, pihak JKR juga menggunakan sistem HDM-4, Highway Development Maintenance Management System iaitu satu sistem yang akan membantu kami dalam mencadangkan kaedah pembaikan jalan tersebut. Sistem HDM-4 ini mengambilkira banyak faktor seperti nilai, IRI, kos serta ketahanan sesuatu kerosakan itu. Kemudian HDM-4 ini akan memberi cadangan jenis dan kaedah pembaikan serta tempoh masa bila jalan tersebut perlu dibaiki. Nilai IRI yang berbeza antara setiap lorong laluan serta berbeza sepanjang jalan memberi indikasi bahawa setiap jalan yang rosak perlu diperbaiki menggunakan kaedah yang berbeza-beza serta ada kerosakan yang boleh ditangguhkan sementara pembaikannya. Pada pandangan mata kasar mungkin dilihat jalan rosak tidak teruk, tetapi berdasarkan data cerapan oleh sistem kami kerosakan melibatkan struktur jalan, struktur tanah di bawah jalan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, pihak JKR sentiasa melakukan rondaan audit dan juga pihak konsesi bagi memantau keadaan sebenar di tapak. Bagi mengawal aspek kualiti, JKR negeri mengambil tindakan dengan melaksanakan audit kuari untuk memastikan campuran yang digunakan adalah mengikut spesifikasi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, antara faktor yang menyebabkan kerosakan tersebut berulang dan kerap berlaku ialah keadaan tanah semula jadi merupakan salah satu punca masalah jalan-jalan yang berlubang, faktor pertambahan bebanan trafik dan kenderaan berat lebih muatan yang melalui jalan tersebut juga menjadi salah satu punca kerosakan jalan dan ia turut memendekkan jangka hayat jalan berkenaan. Seterusnya, kerja-kerja korekan jalan yang dilakukan oleh pihak utiliti turut menjadi punca jalan-jalan berlubang dan antara punca utama kerosakan jalan yang berulang-ulang adalah disebabkan air. Air ini Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh jadi mata air di bawah tanah, boleh jadi paip bocor di bawah tanah atau ada saluran-saluran utiliti yang ditinggalkan. Air adalah kegagalan utama pada sesuatu struktur kerana ia dibina atas subgrade, jadi akan terjejas sekiranya kandungan air di dalam tanah banyak sama ada mengalami mendapan atau tanah runtuh khususnya ketika banjir.

Antara teknologi yang telah digunakan di negeri Johor ialah kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR). Antara kelebihan CIPR ini adalah dapat menjimatkan kos sebanyak 30% berbanding kaedah konvensional. Jalan yang dibaik pulih dengan kaedah CIPR mempunyai jangka hayat lebih lama, tempoh pembinaan yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional, cara pembinaan yang lebih mudah berbanding kaedah konvensional, mesra alam dan dapat memulihara alam sekitar dan juga sumber asli serta mengurangkan gangguan kepada lalu lintas. Kaedah ini banyak digunakan di kawasan Lebuh raya Pasir Gudang dan insya-Allah kaedah ini akan dapat memberi ketahanan yang lebih kepada struktur jalan-jalan kita.

Kaedah kedua yang digunakan di negeri Johor ialah Hot In-Place Recycling (HIPR), sama juga kita gunakan kaedah ini untuk menambal lubang-lubang yang kerap berlubang dan antara kelebihan HIPR ini Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah cost effective sebab kita menggunakan semula bahan sedia ada, ianya dapat memulihara alam sekitar dengan mengguna konsep kitar semula, memendekkan waktu kerja dan mudah dilaksanakan dalam satu operasi, dapat mengurangkan pengangkutan untuk aspat baharu dari kuari, menggunakan mesin yang mempunyai mobiliti yang tinggi, mengurangkan gangguan ke atas lalu lintas serta tidak memerlukan tag code disebabkan hot on hot joint, dia panaskan di atas jalan jadi rekahan-rekahan tu kita dapat kurangkan sebab macam saya sebutkan tadi musuh utama jalan-jalan raya ini ialah air.

Dan kaedah yang ketiga yang digunakan di jalan-jalan di negeri Johor ialah kaedah turapan tegar iaitu menggunakan konkrit rigid. Turapan tegar ini merupakan tapak konkrit, concrete slab yang tidak akan melentur walaupun dikenakan bebanan trafik. Seperti yang kita tahu di antara projek yang sedang menggunakan kaedah ini ialah di Underpass Senai. Antara ciri turapan tegar ialah concrete slab ini bersifat tegar yakni kaku, papan concrete slab ini juga dibina berpetak dan bersambung, mempunyai kebolehkhidmatan yang panjang serta kerja penyelenggaraan sukar dilakukan dan melibatkan kos yang tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan, kerajaan negeri sentiasa meneroka kaedah-kaedah baharu bagi memastikan kerosakan tidak berulang dan ketahanan jalan-jalan raya di seluruh negeri Johor berdaya, berketahanan tinggi. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila Tiram.

Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas jawapan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita semua sedia maklum penyelenggaraan sistem jalan raya di negeri kita khususnya ini diletak dalam beberapa bidang kuasa seperti JKR, PBT dan mungkin sebagainya dalam kawasan bidang kuasa pemaju perumahan. Jadi saya nak tanya dengan Yang Berhormat EXCO, apakah tindakan yang mungkin boleh diambil di atas, ke atas pemaju-pemaju yang mungkin penyelenggaraan jalan tertentu itu di bawah mereka, tapi tiada tindakan yang diambil walaupun arahan mungkin daripada pihak kerajaan negeri telah dikeluarkan kepada mereka. Yang keduanya, saya juga memohon nanti dalam Persidangan Dewan yang akan datang mungkin Yang Berhormat EXCO boleh melaporkan hasil daripada penggunaan kaedah yang teknologi tertentu yang digunakan khususnya di jalan, di Lebuh raya Pasir Gudang mungkin dapat dibentangkan kepada kita hasil daripada penggunaan teknologi-teknologi tersebut. Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tiram. Untuk kawasan-kawasan yang masih lagi berada di bawah bidang kuasa pemaju memang sebenarnya pihak JKR mahupun PBT tidak dapat menyelenggara jalan-jalan yang masih berada di bawah bidang kuasa pemaju. Namun begitu ada juga tindakan yang kita lakukan seperti berjumpa dengan pihak pemaju untuk pastikan bahawa mereka melaksanakan kerja-kerja pembaikan. Antara pemaju-pemaju yang telah kita lakukan libat urus ialah di Tanjung Langsat dan juga di bawah JCorp dan juga di SILC di bawah UEM. Alhamdulillah kedua-dua pemaju melakukan, memberikan respons yang baik dengan melakukan penyelenggaraan namun begitu proses tuntasnya ialah dengan menyerahkan kawasan-kawasan jalan raya di dalam kawasan pembangunan mereka kepada pihak yang berkenaan sama ada PBT ataupun pihak JKR. Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar memang kita sediakan timeline bagi setiap pemaju-pemaju untuk melakukan serahan aset-aset jalan mereka kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ataupun pihak JKR.

Bagi soalan kedua, insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tiram untuk sesi yang akan datang saya akan bentangkan senarai-senarai kerja yang melibatkan kerja-kerja teknologi baharu seperti HIPR, CIPR dan juga konkrit rigid ini dan saya akan laporkan jugalah keberkesanan penggunaan kaedah-kaedah baharu ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pulau Sibatang. Dia Pulau Sibatang atau Pulau Sebatang?

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Dia Pulai Yang Berhormat Datuk Speaker, Pulai.

Speaker

Sebatang atau Sibatang?

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Sebatang.

Speaker

Sebab ada satu tempat di Amerika orang confused juga Albuquerque, ada yang sebut Abu Kaki, ada yang sebut Abukukui. (Dewan ketawa). Ok sila.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pulai Sebatang nombor 12, terima kasih.

Apakah status vaksin untuk kanak-kanak yang belum mencapai 5 tahun pada 2022. Adakah vaksin COVID percuma masih di laksana oleh kerajaan? Dengan status dan perkembangan kesihatan sekarang, adakah keperluan bagi vaksin COVID di kalangan kanak-kanak yang masih belum di vaksin.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Salam Maju, Salam Bangsa Johor, terima kasih Datuk Speaker dan juga seisi Dewan sekalian. Terima kasih YB Pulai Sebatang atas soalan. Dari Yong Peng membawa mandat, datang dengan ilmu dan fakta, Dewan bersidang singkat dan padat, demi bangunkan Johor tercinta. Walaupun sekarang kita berada di dalam fasa Endemik, COVID-19 masih ada. Sehingga 10 Jun 2023, secara kumulatif terdapat 400,551 kes COVID-19 yang telah dilaporkan di mana 397,497 adalah jangkitan tempatan, manakala baki 3,054 adalah kes import. Kes yang masih aktif berdasarkan moving map 7 hari adalah sebanyak 82 kes di mana 57 menjalani kuarantin rumah dan 23 dimasuk ke dalam hospital dan 2 kes di dalam Unit Rawatan Rapi. Namun begitu, pola pelaporan COVID-19 bagi negeri Johor dalam tempoh beberapa bulan ini tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak. Penggunaan katil COVID-19 masih berada di bawah kadar 5%. Sebanyak 100.8% penduduk dewasa di negeri Johor telah mendapat vaksinasi COVID-19 dose premier dan yang lengkap, manakala sebanyak 78.7% penduduk dewasa telah menerima dos penggalak pertama dan sebanyak 3.3% telah menerima dos penggalak kedua. Selain itu, bagi populasi remaja dari 359,900 orang, di antara itu 96.2% telah mendapat dos pertama dan 94.1% telah mendapat dos kedua dan 2.4% bagi dos penggalak. Bagi pencapaian vaksin untuk kanak-kanak pula, bagi dos pertama kita telah mencapai 56.9% dan 51.1% bagi dos kedua dari 409,800 orang.

Berkenaan status keperluan bagi vaksin COVID di kalangan kanak-kanak, pada masa ini tiada vaksin COVID-19 bagi diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi pemberian untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Vaksin COVID-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke atas. Pemberian ini adalah secara sukarela dan ditawarkan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta yang berdaftar sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Berdasarkan syor dari WHO, pengambilan dose premier dan penggalak masih disarankan terutamanya untuk golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik dan kumpulan khususnya seperti petugas kesihatan dan ibu hamil. Kepada mereka yang belum melengkapkan dose premier ataupun dos penggalak, boleh membuat temu janji melalui MySejahtera atau menghubungi klinik-klinik kesihatan yang berhampiran. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 13.

Selain Taman Perbadanan Islam (TPI) Rengit yang bersebelahan dengan DUN Senggarang, adakah pihak kerajaan negeri bercadang membina TPI lain di dalam Parlimen Batu Pahat terutamanya di DUN Senggarang?

Tuan Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Datuk Speaker. Yang Berhormat Senggarang mengemukakan soalan mengenai perancangan kerajaan negeri membina Taman Perbadanan Islam (TPI) dalam Parlimen Batu Pahat terutamanya di DUN Senggarang. Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Dasar Pembangunan Taman Perbadanan Islam (TPI) Negeri Johor adalah melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di dalam Ringkasan Mesyuarat Bilangan 158/2017 bertarikh 11 Januari 2017 telah bersetuju dilaksanakan oleh PIJ Holdings Sdn. Bhd. dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri. Pembangunan TPI merupakan satu pendekatan strategik kerajaan negeri Johor bagi mempertingkatkan dan menyegerakan pembangunan rumah mampu milik dalam membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Pembangunan TPI oleh PIJH ini juga bertujuan menangani permasalahan setinggan di kawasan bandar negeri Johor. Mengikut cadangan pelaksanaan projek, terdapat projek jangka masa pendek, sederhana dan juga panjang yang melibatkan 6,462 unit rumah dan 432 unit ruang niaga akan dibangunkan terutamanya di daerah Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Segamat dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.78 bilion.

Walau bagaimanapun, saya perlu menyatakan sehingga kini hanya 525 unit rumah baharu dapat disiapkan dan bakinya masih dalam perancangan. Projek-projek TPI yang telah pun disiapkan ialah TPI Datin Halimah, TPI Larkin, TPI Stulang Baru. Bagi Taman Perbadanan Islam Rengit, sedang dilaksanakan dengan kemajuan sudah mencapai 36% yang mempunyai komponen terdiri daripada 22 unit rumah teres jenis B, rumah teres jenis C, rumah teres jenis D dan juga rumah kedai. Buat masa ini, pihak PIJH dan kerajaan negeri belum ada tapak yang sesuai untuk permohonan TPI di Senggarang. Pihak PIJH dan kerajaan negeri bersedia membangunkan TPI di Senggarang atau mana-mana daerah dalam negeri Johor sekiranya terdapat tanah milik kerajaan yang telahpun dikenal pasti. Sekiranya terdapat sebarang cadangan pembangunan TPI berserta kawasan tanah yang sesuai, bolehlah dimajukan kepada kerajaan negeri untuk maksud perancangan dan kelulusan. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 14.

Minta dinyatakan dengan terperinci mengenai pelaburan baru yang diperoleh bagi suku tahun pertama 2023.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, mengikut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), negeri Johor telah mencapai pelaburan komited sebanyak RM10.6 bilion pada suku pertama tahun 2023. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM7.3 bilion ataupun 221% berbanding RM3.3 bilion yang dicapai pada suku pertama 2022. Dalam hal ini sebanyak 58 projek dalam sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM1.8 bilion telah diluluskan yang dijangka dapat mewujudkan 3,013 peluang pekerjaan langsung. Manakala sebanyak 147 projek dalam sektor perkhidmatan dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM8.76 bilion diluluskan dengan 298 peluang pekerjaan langsung.

Untuk maklumat, pelaburan langsung asing ataupun FDI menyumbang RM1.35 bilion ataupun 75% manakala pelaburan langsung domestik mencatatkan RM450 juta ataupun 25% bagi sektor pembuatan. Sektor pembuatan pula dibahagikan kepada 12 sub sektor, di mana sub sektor elektrikal dan elektronik menerima pelaburan yang tertinggi iaitu RM1.12 bilion. Kedua, ialah produk logam fabrikasi RM185 juta, ketiga, kimia dan produk kimia RM90 juta, keempat kertas percetakan dan penerbitan RM76 juta, kelima ialah pembuatan makanan RM73 juta dan seterusnya.

Bagi sektor perkhidmatan pula ia dibahagikan kepada 9 sub sektor. Purging yang mencapai status Malaysia Digital dahulunya dikenali sebagai Multimedia Super Corridor menerima nilai pelaburan yang tertinggi iaitu RM5.85 bilion, kedua ialah informasi dan komunikasi RM1.61 bilion, ketiga adalah hartanah, RM900 juta, keempat adalah utiliti RM284 juta dan seterusnya. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Syukur alhamdulillah, negeri Johor berjaya mencatatkan RM10.6 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku tahun pertama 2023. Tahniah. Kita yakin Johor berada di landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian bagi tahun 2022 iaitu sebanyak RM70.6 bilion, seterusnya dapat memenuhi hasrat untuk menjadikan negeri Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Soalan tambahan saya, Yang Berhormat Datuk Speaker, bagaimanakah pelaburan pusat data yang menjadi penyumbang terbesar dari segi nilai pelaburan dapat memanfaatkan negeri Johor? Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor makin menjadi tumpuan perkembangan untuk industri pusat data, bukan sahaja di rantau ini malah di seluruh dunia. Pembangunan pusat data dan industri berkaitan ini dijangka akan menjadi penyumbang pertumbuhan pelaburan utama kepada negeri Johor dan juga kepada Malaysia dalam jangka masa pendek dan sederhana. Menurut beberapa laporan penyelidikan, pasaran pusat data Malaysia dijangka dapat mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun sekitar 7% dalam tahun 2022 sehingga 2027. Dalam hal ini, kerajaan negeri telah mempunyai perancangan di beberapa lokasi untuk membantu syarikat berkaitan pusat data untuk membuat pelaburan berskala besar di Johor antaranya kawasan sekitar Kulai dan Sedenak Techno Park yang diusahakan oleh Johor Corporation dan kawasan Iskandar Puteri di selatan Johor, yang telah menarik perhatian ramai pemain industri dalam dan luar negara termasuk Yongde dari Belanda, GDS dari China, PDC dan sebagainya. Dan beberapa syarikat dari pelbagai negara dari Australia, Ireland dan Singapura, Amerika juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan berkaitan seperti Invest Johor, MIDA, MDEC, IRDA dan lain-lain.

Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030, telah menyebut pembangunan Johor sebagai hab pusat data di rantau ini sebagai salah satu strategi untuk merealisasikan agenda digital Johor. Pembangunan pusat data bukan sahaja dapat memaju pendigitalan eko sistem yang komprehensif mengenai pelaburan, pendidikan, operasi kerajaan dan lain-lain ia juga dijangka dapat membantu merealisasikan visi Johor sebagai hab inovasi digital di rantau ini.

Seterusnya, pelaburan dalam pusat data juga boleh menarik industri yang lain ke negeri Johor antaranya sektor kewangan, logistik, perundingan dan lain-lain yang mempunyai permintaan tinggi terhadap permintaan awan atau cloud services. Ia juga selaras dengan kedaulatan negara dalam bidang digital supaya kita mengekalkan storan data di dalam negara di samping mengurangkan kelewatan penghantaran dan juga meningkatkan keselamatan.

Dalam hal ini, pelaburan dalam pusat data bukanlah sesuatu yang mudah, ia bukan sahaja memerlukan tanah, air dan elektrik yang mencukupi serta infrastruktur yang baik tetapi juga modal insan yang baik dan persekitaran yang menggalakkan untuk menarik lebih ramai bakat ke negeri Johor. Oleh itu, pembangunan jangka masa panjang pasaran pusat data di negeri Johor dan juga di Malaysia secara amnya sepertilah industri termaju yang lain masih bergantung kepada keupayaan untuk mengumpul bakat berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi termasuk melalui kerjasama dengan kolej dan universiti tempatan untuk

mewujudkan eko sistem lengkap dan kumpulan bakat yang mampan supaya rakyat negeri Johor berpeluang untuk kekal dan merealisasikan potensi mereka di kampung halaman dan dapat benar-benar memberi manfaat kepada negeri Johor dan Malaysia. Inilah tujuan sebenar untuk mengekalkan projek kekal berskala besar pusat data di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan 15.

Apakah bantuan yang telah kerajaan laksanakan untuk membantu peladang dan penternak yang mengalami kerugian besar akibat banjir yang berlaku pada Mac yang lalu?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 16.

Apakah inisiatif yang disediakan kerajaan di dalam membantu rakyat yang tanaman dan ternakan mereka terlibat dengan banjir dan berapa ramai yang telah menerima inisiatif tersebut dan jumlah yang diperuntukkan.

Speaker

Ya, sila.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih yang Berhormat Bentayan, Terima kasih Yang Berhormat Penggaram.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hampir semua daerah di dalam negeri Johor terjejas kerana musibah hujan lebat dan banjir yang berlaku pada bulan Mac 2023 yang lalu. Untuk rekod di seluruh negeri Johor, pihak jabatan dan agensi berkaitan menerusi Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang telah mengesahkan seramai 939 orang pemohon bantuan bencana banjir dengan nilai kerugian dan permohonan keseluruhan bernilai RM17,730,765.71. Ianya merangkumi pengusaha-pengusaha sub sektor pertanian agro makanan, sub sektor penternakan dan sub sektor perikanan dan sub sektor perindustrian asas tani. Permohonan-permohonan ini telah dimajukan oleh jabatan dan agensi berkaitan kepada pihak Kementerian dan Keterjaminan Makanan dan dalam proses kelulusan menerusi peruntukan di bawah Tabung Bencana iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan (TPSPA).

Untuk rekod pada tahun 2022, seramai 431 orang pengusaha sektor pertanian dan satu komuniti perikanan di Johor yang terkesan bencana banjir telah menerima bantuan dengan nilai peruntukan sebanyak RM2,549,941.60. Bantuan ini bukanlah untuk menampung jumlah nilai kerugian tetapi ia lebih kepada membantu pengusaha untuk melaksanakan semula projek-projek pertanian yang terjejas. Dengan nilai RM2,549,941.60 boleh dibahagikan kepada Jabatan Pertanian berjumlah RM684,297.60 melibatkan 246 orang penerima, Jabatan Veterinar RM1,391, minta maaf RM1,391,843.00 untuk 135 orang penerima bantuan. Jabatan Perikanan RM246,366 untuk 21 orang dan satu komuniti perikanan. Manakala Lembaga Pertubuhan Peladang dengan nilai RM263,475.00 dengan jumlah penerima bantuan sebanyak 209 orang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi Jabatan Pertanian, penyaluran telah dibuat sebanyak RM684,257.60 pada 246 orang pengusaha. Dalam tahun 2023 pula, Jabatan Pertanian Negeri Johor menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri telah menerima sebanyak 704

permohonan bencana melibatkan tanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan, lebah madu, cendawan serta industri asas tani dengan anggaran kerugian sebanyak RM10,300,000.00 daripada petani dan pengusaha agro penternakan tersebut dengan agihan mengikut daerah, Batu Pahat 104 orang, Segamat 108 orang, Tangkak 206 orang, Muar 35 orang, Kluang 58 orang, Kulai 3, Pontian 11, Mersing 197, Kota Tinggi 20 dan Johor Bahru 2 pengusaha. Dengan jumlah 704 pengusaha atau petani dengan anggaran kerugian RM10,314,750.41.

Manakala, melalui kerajaan negeri sebanyak RM100,000.00 telah diperuntukkan bagi projek bantuan bencana agro makanan tahun 2023, dengan penerima manfaat adalah sebanyak atau seramai 70 orang petani dan melalui peruntukan persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Tabung Bencana iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan memperuntukkan sebanyak RM491,495.00 dengan penerima manfaat seramai 94 petani manakala bagi Tabung Bantuan Tanaman Padi turut disediakan iaitu dengan jumlah peruntukan RM92,802.60 dengan penerima manfaat seramai 82 orang petani.

Berikutan nilai peruntukan negeri yang terhad, sebanyak 18 permohonan daripada pengusaha I&T telah diluluskan dan proses perolehan peralatan dan mesin-mesin I&T telah dilaksanakan. Walau bagaimanapun, baki sebanyak 686 permohonan telah diangkat kepada pihak KPKM bagi permohonan peruntukan persekutuan. Untuk makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Jawatankuasa Bencana bagi EBTP telah diadakan pada 30 Mei yang lalu bagi kelulusan permohonan tanaman padi dan satu Mesyuarat Jawatankuasa Bencana akan diadakan pada 14 Jun bagi permohonan agro makanan selain padi. Status kelulusan bagi kesemua permohonan yang telah diangkat oleh negeri-negeri akan dimaklumkan kepada pihak kementerian kepada semua agensi pelaksana termasuk Jabatan Pertanian.

Melalui Jabatan Veterinar pula, seramai untuk tahun 2022 seramai 135 orang penternak telah mendapat bantuan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan nilai bantuan sebanyak RM1,391,843.20. Bagi pengusaha sub sektor penternakan yang terkesan banjir pada tahun ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Veterinar Negeri Johor telah memberikan bantuan awal berupa makanan ternakan seperti dedak lembu pedaging, dedak kambing dan dedak ayam berserta silaj kepada peserta seramai 18 orang penternak yang terjejas.

Selain itu, maklumat penternak-penternak yang terjejas dengan banjir yang mana melibatkan kematian ternakan dan kerosakan peralatan serta infrastruktur juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Semula Agro Makanan peringkat Jabatan Veterinar untuk dibawa ke mesyuarat peringkat kementerian. Justeru, pada tahun ini seramai 143 permohonan dalam kalangan penternak telah dimajukan dengan nilai permohonan peruntukan bantuan sebanyak RM1,461,246.00. Manakala bagi Jabatan Perikanan pula, Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk rekod Jabatan Perikanan Negeri Johor pada tahun 2022, telah menerima peruntukan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebanyak RM246,366.00 iaitu sebanyak RM226,867.00 untuk bantuan kepada seramai 21 orang pengusaha agriculture dan RM13,500.00 untuk satu komuniti perikanan dan seorang usahawan yang terkesan dengan bencana banjir melibatkan daerah Segamat, Muar dan Mersing iaitu 12 pengusaha di Segamat, 10 pengusaha di Muar dan 1 pengusaha di Mersing. Bantuan ini telah disalurkan pada tahun semasa dan jenis bantuan adalah dalam bentuk I-Can iaitu benih ikan, makanan ikan dan peralatan sokongan seperti pam air, water jet dan sebagainya.

Pada tahun 2023, Jabatan Perikanan Negeri Johor telah mengambil inisiatif dan mendapatkan laporan awal kumpulan sasar yang terkesan dengan bencana dan dilaporkan ke pihak Ibu Pejabat Perikanan Malaysia untuk tindakan Jawatankuasa Teknikal EPSTA seterusnya diangkat ke Jawatankuasa Induk DKPKM bagi kelulusan. Bagi tujuan ini, pihak

Jabatan Perikanan akan memastikan bantuan-bantuan mudah seperti pemberian benih, makanan dan peralatan sokongan yang lain akan dipercepatkan manakala bantuan-bantuan yang melibatkan penambahbaikan infra akan dilaksanakan berdasarkan SOP sedia ada oleh pihak MKN dan KPKM. Sehingga 24 Mei 2023 ini, telah direkodkan seramai 60 orang pengusaha sektor perikanan terkesan dengan fenomena banjir dengan anggaran kerugian sebanyak RM5,234,044.00.

Manakala yang terakhir Datuk Speaker, bagi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk tahun 2022, kerugian akibat bencana berkenaan di peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Johor bagi sektor agro makanan dianggarkan berjumlah RM1,442,000.00 yang melibatkan seramai 29 orang ahli dengan keluasan sebanyak 123.5 hektar. Kementerian telah meluluskan peruntukan pembangunan semula Projek Agro Makanan (PPSPA) berjumlah RM263,475.00. Peruntukan yang telah diluluskan disalurkan kepada peserta dalam bentuk benih, input, peralatan, baik pulih infra dan sebagainya. Manakala pada tahun 2023 ini, kerugian akibat bencana ini dianggarkan berjumlah RM720,725.00 dengan keluasan 75.62 hektar yang melibatkan seramai 22 orang ahli atau usahawan PPK. Keluasan peruntukan masih di peringkat Kementerian. Selain itu, bantuan dalam bentuk Bakul Makanan KPKM telah memberi manfaat kepada lebih 1,000 ahli Peladang PPK Seri Medan yang terkesan akibat bencana tersebut dengan nilai peruntukan sebanyak RM50,000.00. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya, sila Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada YB EXCO atas jawapan yang diberi. Saya nak tahukan segala inisiatif atau bantuan yang disebut tadi sudah siap dilaksanakan tak? Sebab saya mendapatkan feedback daripada penternak ayam terutama dari Johor Utara di mana permohonan mereka sampai sekarang belum dapat sebarang respond daripada jabatan yang berkenaan. Sekian, terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat kerana bangkitkan perkara ini. Dan sebenarnya perkara ini memang menjadi isu di kalangan pengusaha-pengusaha di bawah Jabatan Pertanian tentang bantuan yang belum lagi diterima setakat ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya sebutkan tadi bantuan-bantuan awal seperti dedak dan sebagainya telah disalurkan kepada mereka yang terlibat. Cuma, bantuan-bantuan yang melibatkan perolehan sebenarnya mengambil masa untuk diselesaikan. Buat masa ini, penilaian dan pengesahan telah dilaksanakan di peringkat negeri dan telah dimajukan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Jaminan Makanan untuk proses kelulusan. Dan untuk makluman Yang Berhormat juga, semalam Mesyuarat Jawatankuasa Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agro Makanan (PPSPA) di kementerian telah diadakan dan kita sedang menunggu jawapan daripada kementerian. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Soalan-Soalan Bertulis.Questions

Jurutulis

Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2023.Bill

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2023 dibacakan kali yang pertama.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2023 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga. Dan, saya membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang. Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan bagi perbelanjaan bekalan tahun 2023. Tambahan peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM16,972,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan di bawah dua Jawatankuasa seperti berikut :

Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Negeri Johor RM6,372,000.00.

Kedua, Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor sebanyak RM10,600,000.00.

Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang kedua.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2023 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

JADUAL.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM6,356,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu dan RM16,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.45, Pejabat Daerah Segamat itu hendaklah dijadikan sebahagian daripada Jadual ini.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bagi Maksud Bekalan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan, peruntukan tambahan sebanyak RM6,356,000.00 bagi menampung kekurangan peruntukan kerana pembayaran tunggakan bil penyelenggaraan pendingin hawa bangunan-bangunan kerajaan di Kota Iskandar. Peruntukan ini juga bagi menampung kekurangan untuk pembayaran elaun lebih masa anggota jabatan dan anggota Pejabat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor serta menampung kekurangan perbelanjaan yang perlu dibayar menggunakan AP(58), bagi peruntukan Ahli Dewan Negeri Johor di bawah skop bekalan dan kerja-kerja kecil untuk Pejabat Daerah berkenaan. Peruntukan tambahan yang diperlukan bagi aktiviti seperti berikut: Pelbagai Perkhidmatan, RM5,440,000.00; Dewan Negeri Johor, RM916,000.00.

Bagi Maksud Bekalan B.45, Pejabat Daerah Segamat, peruntukan tambahan sebanyak RM16,000.00 bagi menampung kekurangan peruntukan kerana pembayaran Gantian Cuti Rehat kepada seorang kakitangan yang bersara pilihan.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu sejumlah wang sebanyak RM10,600,000.00 bagi Kepala Perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Pengerusi, bagi Maksud Bekalan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat, peruntukan tambahan sebanyak RM10,600,000.00 bagi menampung pembayaran kepada pembekal keperluan dan makanan mangsa banjir serta Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2023 kepada petugas-petugas PDK sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 2 Tahun 2022.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dipersetujukan.

Jadual jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 2.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 2 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 1.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Dewan Negeri bersidang semula.

Datuk Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun ditimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan. Maka, saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2023 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan.

Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini adalah diperundang-undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut: Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2023.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini ditangguhkan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah selesai sudah Persidangan kali ini. Terima kasih diucapkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan. Selamat bercuti, selamat balik kawasan, jaga kawasan, selamat menunaikan haji kepada Yang Berhormat Semerah, tolong doa banyak-banyak, balik bawa semangat baru, jangan bawa orang baru.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.20 pagi.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis Encik Mohd Farid bin Kassim

Penolong Jurutulis Encik Azlan Afandi bin Sauffee Afandi

Koordinator Cik Norzita binti Abdul Aziz

Pembantu Penerbitan Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi

Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar