Johor · 26 November 2023

2nd session, 4th meeting · 121 turns · 32,555 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan yang mulia ini ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi kerana lima hari lalu, telah menganjurkan Perhimpunan Solidariti Palestin di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn.

Justeru, Dewan Negeri Johor berpendirian sama iaitu bersolidariti dengan rakyat Palestin yang terus dizalimi oleh rejim Zionis Israel sehingga semalam sudah melebihi 14,643 orang rakyat Palestin dibunuh sejak 7 Oktober yang lalu. Perlu diingatkan HAMAS bukan kumpulan pengganas. Mereka adalah kerajaan yang sah, yang menang melalui Pilihan raya Perundangan Palestin pada tahun 2006. HAMAS menang 75 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan. HAMAS mentadbir semenanjung Gaza, manakala kumpulan Al Fatah mentadbir Tebing Barat ataupun West Bank. Israel, Amerika dan Kesatuan Eropah menuduh HAMAS melanggar undang-undang antarabangsa sejak 7 Oktober 2023. Sedangkan Israel sebenarnya yang melanggar undang-undang antarabangsa sejak berdekad iaitu sejak tahun 1948.

Israel kerap melanggar keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk keputusan PBB supaya Israel menghentikan pembinaan kawasan-kawasan penempatan baru. Israel, Amerika dan Kesatuan Eropah menggunakan naratif Israel has the right to defence itself. Apakah the right to defence itself dengan kaedah membunuh kanak-kanak, memusnahkan hospital, rumah dan sekolah. Sehingga ada sekolah menjadi syahid, sekolah tidak ada murid, kerana semua murid-murid di sekolah tersebut terkorban. Kenapa Amerika dan Kesatuan Eropah tidak bertanya Palestin, has the right to defence itself. Palestin bukan tanah kosong, Palestin adalah tanah yang ada orang, ada kerajaan, ia dirampas secara haram pada tahun 1948 untuk mendirikan negara haram Yahudi. Justeru, mari kita terus bersolidariti dengan rakyat Palestin. Selain membantu dengan bantuan kewangan dan perubatan, kita wajib istiqamah memboikot apa sahaja perniagaan dan barangan yang ada kaitan dengan Yahudi sebagai tanda solidariti. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1. Terima kasih.

Negeri Johor sedang menuju ke arah Negeri Maju 2030, saya percaya kerajaan negeri tidak akan meminggirkan semua golongan dalam menuju kemajuan itu. Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan?

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Panti.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2. Terima kasih.

Apakah usaha kerajaan negeri dalam memajukan masyarakat Orang Asli di negeri ini khususnya di kawasan DUN Panti?

Speaker

Sila.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Bekok, terima kasih Yang Berhormat Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bekok membangkitkan tentang perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam menuju negeri maju menjelang dalam tahun 2030. Manakala, ADUN Panti membangkitkan tentang usaha kerajaan memajukan masyarakat Orang Asli khususnya dalam kawasan DUN Panti.

Yang Berhormat, secara keseluruhannya pada tahun 2023, sebanyak RM9,720,344.70 telah diperuntukkan kerajaan bagi program dan projek pembangunan di perkampungan masyarakat Orang Asli seluruh negeri Johor. Peruntukan ini melibatkan peruntukan daripada sumber persekutuan iaitu sebanyak RM9,264,344.70 dan peruntukan Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM452,000.00 yang melibatkan projek dan pembangunan infrastruktur, imuniti sosial, bekalan air terawat, pembangunan ekonomi, pemerkasaan institusi pentadbiran peringkat kampung dan pembangunan modal insan masyarakat Orang Asli. Kerajaan Negeri Johor bersama-sama kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam memastikan pelbagai aspek pembangunan dapat dilaksanakan bagi memastikan Orang Asli dapat bersaing seiring dengan pembangunan dan kemajuan negeri Johor.

Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM300.00, RM300,000.00, minta maaf. Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM300,000.00 bagi pelaksanaan projek rintis Kampung Orang Asli Sejahtera di Kampung Orang Asli Puting, Segamat. Objektif program ini adalah bagi memastikan kemajuan kampung Orang Asli seiring dengan kampung-kampung lain. Program ini merangkumi 3 komponen utama iaitu program keceriaan, ekonomi dan pendidikan. Program ini memberikan manfaat kepada lebih 200 orang masyarakat Orang Asli Puting daripada pelbagai peringkat umur antaranya pelajar, belia, usahawan, ibu bapa dan lain-lain.

Objektif yang jelas dilihat daripada pelaksanaan projek ini adalah meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat kampung Orang Asli melalui komponen ekonomi dan pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan mereka melalui persekitaran yang kondusif. Secara tidak langsung kampung ini dapat menjadi contoh kepada kampung Orang Asli lain sekitar negeri Johor seiring dan ke arah menuju negeri maju tahun 2030. Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM152,000.00 bagi melaksanakan program-program pendedahan masyarakat Orang Asli negeri Johor.

Objektifnya adalah bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat Orang Asli mengenai pembangunan sosioekonomi, kepimpinan dan pengurusan dan aktiviti masyarakat Orang Asli di tempat lain. Antara program yang dijalankan adalah, pertama, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Negeri Johor telah membawa seramai 400 orang belia dan beliawanis masyarakat Orang Asli Johor untuk melawat Kelab Bola Sepak Johor (JDT) bagi menyaksikan perlawanan bola sepak AFC Champion League di antara pasukan JDT dan pasukan Ulsan Hyundai dari Korea di Stadium Sultan Ibrahim, Nusajaya. Lebih manis lagi

pengalaman mereka diserikan dengan kemenangan JDT iaitu dengan kemenangan 2-1. Ia memberi pendedahan sukan kepada belia masyarakat Orang Asli.

Yang keduanya, seramai 80 orang masyarakat Orang Asli telah dibawa melawat ke Kampung Orang Asli Sejahtera di Pos Yum dan Pos Kuala Mu, Perak pada 17 hingga 19 November lalu. Kampung Orang Asli Pos Yum ini adalah salah satu kampung Orang Asli yang berjaya dalam pembangunan koperasi penduduk. Mereka mengorak langkah berani dengan menerokai dan memperkembangkan bidang ekopelancongan dalam usaha menambah baik sosioekonomi mereka.

Kerajaan negeri berharap agar lawatan ini akan memberi suatu yang bermanfaat kepada JKOA Negeri Johor serta pimpinan Batin, Pengerusi JPKOA dan masyarakat Orang Asli Johor yang turut sama dalam lawatan tersebut terutama dari segi pendedahan berkaitan pentadbiran, pengurusan dan kerjasama dalam komuniti. Tahun ini juga, kepimpinan negeri Johor dan JKOA Negeri Johor telah turun sendiri ke lapangan bagi melihat sendiri kampung-kampung Orang Asli sekiranya terdapat pembangunan yang memerlukan perhatian pihak kerajaan. Kita mahu agar tiada satu pun lapisan masyarakat yang tertinggal daripada arus pembangunan negeri Johor menjelang Maju Johor 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Panti sebanyak RM384,363.00 telah diperuntukkan bagi kampung Orang Asli DUN Panti iaitu Kampung Orang Asli Kempas Menang, Kampung Orang Asli Pasir Intan dan Kampung Orang Asli Sayong Pinang bagi program dan projek pembangunan di perkampungan masyarakat Orang Asli Negeri Johor 2023. Pada tahun ini juga, masyarakat atau Kampung Orang Asli Kempas Menang dan Kampung Orang Asli Pasir Intan terlibat dalam Program Pementoran Desa, sebanyak RM32,820.00 peruntukan dan disalurkan kepada Jawatankuasa Penduduk dan Keselamatan Orang Asli Kampung atau JPKKOA bagi pelaksanaan program-program kampung tersebut. Program Pementoran Desa ini merupakan wadah pemindahan pengalaman serta pendedahan pengetahuan yang bertujuan mewujudkan lebih banyak kampung membangun dan sejahtera.

Program ini juga menggalakkan perkongsian maklumat serta meningkatkan kemampuan individu dan institusi pentadbiran peringkat kampung dari segi pengurusan dan pembangunan. Ia merupakan langkah utama dalam usaha mewujudkan kampung berdikari dan proaktif kepada perubahan serta mampu mengguna pakai kelebihan potensi yang ada dalam kawasan setempat.

Manakala bagi kawasan DUN Bekok pula, pada tahun 2023 ini sebanyak RM1,448,942.90 dari peruntukan kerajaan yang melibatkan infrastruktur dan imuniti sosial, projek bekalan air terawat, naik taraf jalan, bantuan rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Kudung, Kampung Orang Asli Seri Tembayan, Kampung Orang Asli Tamok, Kampung Orang Asli Lenek dan Kampung Orang Asli Kemidak serta Kampung Orang Asli Selai. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Ya, saya jemput Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan soalan tambahan saya. Untuk program Kampung Orang Asli Sejahtera yang YB EXCO nyatakan dalam jawapan tadi, apakah jaminan untuk kerajaan memastikan dia akan berjaya dan adakah program ini akan diteruskan di tahun akan datang? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Bekok, Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan kepastian untuk kejayaan Kampung Orang Asli Sejahtera ini ia suatu perkara yang subjektif. Namun, bagi pihak Jawatankuasa ini dan JKOA, ia boleh dipastikan dengan penglibatan

pelbagai jabatan dan agensi yang dilibatkan dalam program Orang Asli Sejahtera ini. Sebagai contoh, Kampung Orang Asli Puting Segamat yang menjalankan ataupun ditetapkan untuk Program Orang Asli Sejahtera Tahun 2023 ini telah melibatkan jabatan seperti Pejabat Daerah Segamat, Majlis Perbandaran Segamat, Jabatan Pertanian Negeri Johor, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Jabatan Perikanan Negeri Johor, UiTM Segamat, PPD Segamat, Jabatan Penerangan serta pimpinan masyarakat. Jadi, dengan penglibatan jabatan dan agensi ini saya percaya semua pihak akan main peranan dan terlibat sama untuk memastikan kejayaan Kampung Orang Asli Sejahtera ini. Dan berkenaan, adakah program ini akan diteruskan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000.00 untuk Kampung Orang Asli Sejahtera untuk tahun 2024, dan kita akan mengumumkan kampung dan daerah terlibat dalam masa terdekat. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Saya jemput Panti.

YB Tuan Haji Hahasrin Bin Hashim (Panti) :vBismillahirrahmanirrahim.Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan bagi soalan tadi.

Yang pertama saya nak ucapkan, nak merakamkan terima kasih kepada kerajaan kerana di dalam bajet yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada menyatakan bahawa tambahan RM300.00 untuk 46 Batin di seluruh negeri Johor.

Yang kedua di tempat saya Yang Berhormat Datuk Speaker, kemudahan-kemudahan ada beberapa kampung Orang Asli, kemudahan contohnya akses kepada kesihatan, akses kepada capai Internet dan telekomunikasi masih berada di tahap yang maksudnya kalau macam di kampung Orang Asli Sayung Pinang tu, paling dekat adalah Klinik Kesihatan Bandar Tenggara, memerlukan mereka keluar jauh dan sebagainya. Dan kemudahan capaian Internet pun kurang dalam keadaan kita sekarang ni kos sara hidup yang tinggi, mungkinlah kalau yang capaian Internet tu baik, mereka dapat membuat sesuatu.

Soalan saya adakah kerajaan negeri ataupun mungkin persekutuan ada mempunyai perancangan untuk memastikan perkampung Orang Asli, bukan sahaja di tempat di DUN Panti mungkin di seluruh negeri Johor, kemudahan ataupun akses kepada perkara-perkara penting ini dapat dijalankan ataupun dipastikan bahawa berkeadaan baik dan mungkin akses dia lebih mudah, agar memastikan membantu untuk kita mencapai Johor Maju pada tahun 2030. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Panti. Untuk makluman Yang Berhormat Panti, sewaktu lawatan kami ke kampung Orang Asli dalam kawasan Panti, memang perkara tersebut telah dibangkitkan. Dan insya-Allah berkenaan dengan capaian Internet, kami akan berbincang dengan Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi untuk membincangkan pembangunan dari sudut infrastruktur ini ataupun capaian Internet ini. Ia bukan sahaja untuk Panti, malah saya fikir banyak lagi kampung-kampung Orang Asli yang perlukan penelitian dan perhatian terutama dalam capaian Internet, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Ya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bagi pembangunan, saya ingin tanya berkenaan dengan pembangunan di kawasan ataupun kampung-kampung Orang Asli terutama kemudahan infrastruktur. Sebab kebanyakan kampung-kampung Orang Asli ini terletak di kawasan pendalaman.

Jadi yang pertama, infrastruktur lalu lintas. Yang kedua, banyak lagi kampung-kampung Orang Asli terutama di negeri Johor yang masih belum ada bekalan air bersih atau air terawat, yang mereka masih menggunakan air bawah tanah atau air hujan.

Jadi soalan dari Tangkak adalah apakah inisiatif ataupun bantuan ataupun peruntukan yang akan disediakan oleh kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan bagi memastikan kesemua kampung-kampung Orang Asli terutama di negeri Johor ini sekurang-kurangnya mendapat air, bekalan air bersih atau bekalan air terawat. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sangat berterima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang prihatin tentang pembangunan masyarakat Orang Asli.

Untuk makluman Ahli Dewan, bahawa ada 60 kampung Orang Asli di seluruh negeri Johor. Dan untuk program... untuk 60 pembangunan kampung Orang Asli di seluruh negeri Johor ini, untuk tahun 2024, saya maklumkan sahaja, peruntukan yang dicadangkan kepada JAKOA Negeri Johor untuk tahun 2024 adalah berjumlah RM6,732,028.00. Dan daripada jumlah itu, ia melibatkan projek bekalan air terawat di perkampungan Orang Asli seperti yang dimaklumkan... dibangkitkan oleh Tangkak iaitu berjumlah RM700,000.00. Kemudian untuk menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara jalan di kampung Orang Asli sebanyak RM1.2 juta.

Jadi saya akan melihat, kami akan melihat keperluan-keperluan ini sama ada ianya wajar dilaksanakan di kampung-kampung yang berkaitan. Saya sebutkan tadi ada 60 kampung Orang Asli yang perlukan pemerhatian dan saya akan ambil maklum apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tangkak. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat kita mengalu-alukan pemerhati ke Persidangan kali ini iaitu seramai 31 orang daripada Pemuda MCA. Ada? Ini penyokong kuat YB Yong Peng. Yang kedua 50 orang pelajar-pelajar sains politik UKM. 9 orang daripada Pejabat ADUN Pekan Nanas. 7 orang daripada Pejabat ADUN Johor Lama. (Dewan bertepuk). Terima kasih, selamat datang. Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah Binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.

Apa persediaan sekolah-sekolah yang terkesan akibat banjir di negeri Johor dalam mendepani bencana banjir Monsun Timur Laut yang dijangka hujung tahun ini?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan persediaan murid, guru dan sekolah dalam menghadapi suasana bencana banjir dalam keadaan baik agar menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah.

Bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan termasuk di kawasan DUN Pasir Raja, beberapa persediaan telah dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor itu sendiri. Terutamanya sesi libat urus, penyelarasan, persediaan menghadapi banjir, JPN Johor bersama dengan PPD pada 27 September 2023 antara fokusnya berkaitan bagaimana penyaluran maklumat keberadaan murid yang terkesan dengan banjir dan pemindahan buku teks ke tempat yang selamat daripada banjir.

Seterusnya sesi libat urus persediaan menghadapi bencana banjir bersama sekolah pada 1 Oktober 2023 hingga 5 Oktober 2023. Penyaluran maklumat keberadaan murid yang terkesan banjir dan pemindahan buku teks ke tempat yang selamat daripada banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Pengetua dan Guru Besar juga telah dijemput menghadiri taklimat peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Pusat Pemindahan Sementara Banjir (PPS) Sekolah kepada guru-guru dan komuniti setempat di negeri Johor pada 30 Oktober 2023 bertempat di Johor Bahru dan Kluang serta 5 November 2023 bertempat di Kota Tinggi. Taklimat tersebut dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor.

Pengurusan pengendalian dan keselamatan adalah berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang mengancam perjalanan peperiksaan yang dikenali sebagai Operasi Payung Bilangan 1/2021 yang telah dikeluarkan oleh Pengarah Peperiksaan bagi memastikan keselamatan kertas peperiksaan, calon peperiksaan, petugas dan skrip jawatan calon.

Jadi untuk hadirin hadirat sekalian yang berada di Dewan yang Mulia ini, sama-sama kita semua berdoa agar negeri Johor yang kita cintai ini dijauhkan dari segala bencana dan moga Allah mengangkat doa-doa kita semua. Sekian, terima kasih.

Speaker

Jemput YB Pemanis. Ooo sebab Pemanis bangun dulu.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita menghargai sebenarnya jasa daripada pihak sekolah untuk membantu terutamanya menyediakan pusat-pusat pemindahan sementara di kawasan-kawasan sekolah terutamanya dalam negeri Johor.

Cuma saya ingin bertanya kepada YB Johor Lama tentang pusat pemindahan bukan tetap, tapi bukan sementara, tapi yang tetap, yang katanya di negeri Johor ini yang pertama akan diadakan di Parit Sulong. Bilakah pelaksanaan pusat pemindahan tetap ini akan dapat dilaksanakan? Kalau dapat dilaksanakan ini nanti, saya yakin ia akan menjadi pusat pemindahan yang dapat membantu terutamanya memindahkan lebih ramai lagi mangsa-mangsa banjir yang berada di dalam kawasan tersebut. Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih Yang Berhormat DUN Pemanis atas soalan tambahan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada soalan tadi, ingin saya memaklumkan bilangan sekolah PPS yang berada di negeri Johor, kalau boleh saya sebutkan satu persatu untuk di negeri Johor, berada di negeri Johor – PPD Johor Bahru bilangannya 4; PPD Pasir Gudang, 2; PPD Segamat, 25; Pontian, 6; Batu Pahat, 73; Tangkak, 15; Kulai, 5; Mersing, 7; Muar, 16; Kota Tinggi, 12; Kluang, 22. Jadi jumlah bilangan PPS yang berada di negeri Johor adalah sebanyak 187, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Namun atas soalan tambahan tadi, kita faham dan jelas PPS yang berada di negeri Johor ini sebenarnya tidak mencukupi. Atas masalah itu kita telah pun berbincang… apa berkaitan dengan masalah ini kepada PPD dan JPN juga, insya-Allah masalah-masalah ini akan kita selesaikan. Dan itu juga termasuk di dalam mesyuarat yang telah kita buat sebelum banjir, semasa banjir dan pasca banjir itu sendiri. Sekian, terima kasih.

Speaker

Sila Pasir Raja.

Puan Rashidah Binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih di atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO.

Soalan saya adalah apabila berlakunya banjir dan mangsa-mangsa banjir ditempatkan di sekolah-sekolah yang telah terpilih. Tetapi bila masalah penempatan ini berlaku, terdapat peralatan-peralatan di dalam sekolah yang rosak akibat digunakan mungkin oleh kerana terlalu banyak penggunaan di tempat tersebut. Apakah tindakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah tersebut? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada DUN Pasir Raja. Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin saya kongsikan mengikut data bilangan sekolah banjir rujukan data Monsun Timur Laut bulan Disember 2022 hingga Mac 2023, adalah sebanyak 56 buah sekolah di negeri Johor yang terlibat dalam operasi ini. Ingin juga saya kongsikan untuk daerah Johor Bahru jumlah yang terkesan banjir 1, Segamat, 14; Pontian, 0; Batu Pahat, 23; Tangkak, 7; Kulai, 0; Mersing, 1; Muar, 7; Kota Tinggi, 2; dan Kluang, 1.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, itu jugaklah keluhan daripada pihak-pihak sekolah berkaitan dengan PPS-PPS yang telah digunakan. Kebanyakannya setelah habis musim banjir, kebanyakan sekolah-sekolah yang digunakan sebagai PPS banyak kerosakan yang berlaku. Hal ini telah kita bangkitkan dan kita telah merujuk kepada KPM dan insya-Allah penyaluran daripada segi bantuan juga akan diberikan dalam fokus menyelenggara keadaan sekolah yang terlibat dengan banjir untuk tahun ini. Sekian.

Speaker

Saya jemput YB Mahkota.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Siapa berani kahwin empat, soalan Mahkota nombor empat.

Nyatakan jumlah Tabika Perpaduan di seluruh Johor dan adakah kewujudan Tabika Perpaduan ini telah berjaya memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan murid?

Speaker

Jawab dengan pantun Yang Berhormat.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Terima kasih daripada soalan Mahkota. Pantunnya nanti saya jawab kemudian. Yang pertama, saya tak berani nak kahwin empat disebabkan kuota saya cuma satu. (Dewan ketawa). Terutamanya izinkan saya nak minta izin daripada Datuk Speaker untuk sekali lagi saya ucap selamat datang kepada 31 delegasi daripada Pemuda MCA Negeri Johor kerana Ketua Pemuda baru saja dipilih. Ini semua penyokong kuat saya. (Dewan bertepuk).

Negeri Johor merupakan negeri yang paling banyak menubuhkan kelas Tabika Perpaduan dengan jumlah sebanyak 206 kelas. Dengan kriteria penubuhan kelas Tabika Perpaduan hendaklah dalam kawasan Rukun Tetangga. Semestinya kriteria pengambilan kanak-kanak adalah berbilang kaum. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kelas Tabika Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara telah mengubah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Tahun 2021 hingga 2030.

Melalui pelaksanaan pelan ini kanak-kanak Tabika Perpaduan bukan sahaja diasuh untuk memahami kepelbagaian budaya, kaum dan adat resam masyarakat Malaysia, malah segala aspek kemenjadian murid turut menjadi perkara penting bagi memperkembangkan potensi serta melahirkan murid yang mempunyai semangat cintakan negara serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Bagi merealisasikan pelan ini, sebanyak 13 aktiviti dilaksanakan di semua kelas Tabika Perpaduan di seluruh negara termasuk negeri Johor dan 13 aktiviti ini ada dalam senarai jawapan bertulis, saya tidak sebut satu-persatu. Dan juga sebagai maklumat tambahan kepada DUN Mahkota, terdapat 29 kelas Tabika Perpaduan dalam daerah Kluang dan di antaranya ada 9 yang terletak dalam kawasan DUN Mahkota. Dan saya juga ambil kesempatan ini juga ingin nak buat sedikit hebahan dan juga promosi bagi Tabika Perpaduan supaya mengalu-alukan Bangsa Johor untuk menghantar anak-anak mereka untuk belajar dalam Tabika Perpaduan kerana kita menawarkan perkhidmatan secara, kita bagi apa ini uniform secara percuma, buku teks secara percuma dan juga kita bagi makan pun secara percuma. Dan ibu bapa cuma memberi sumbangan sebanyak RM20.00 setiap bulan. Dan akhir kata, saya ingin nak membalas, mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun, untuk membalas kepada DUN Mahkota. Jelapang padi di tepi rumah, bunga selasih tumbuh di sana, banyak perpaduan banyaklah hikmah, modul Tabika Perpaduan ukhuwah terbina. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Tiram.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 5.

Keperluan rumah PPR dan Rumah Mampu Milik Johor amat tinggi di DUN Tiram, apakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan perumahan PPR dan RMMJ ini kepada golongan berpendapatan rendah di dalam DUN Tiram?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Selamat pagi, salam Maju Johor. Soalan YB Tiram berbunyi keperluan rumah PPR dan Rumah Mampu Milik Johor amat tinggi di DUN Tiram, apakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan perumahan PPR dan RMMJ untuk golongan berpendapatan rendah di dalam DUN Tiram?

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sentiasa menambah kawasan baru untuk pembangunan perumahan Rumah Mampu Milik dari semasa ke semasa. Berdasarkan rekod semasa untuk Tiram mempunyai 4,150 unit. Berikut merupakan projek yang melibatkan kawasan DUN Tiram iaitu terdapat 6 projek perumahan yang akan siap dibina sehingga 2026, sebanyak 4,150. Antaranya di kawasan Taman Tanjung Puteri Resort sebanyak 227 unit, Bandar Tiram Fasa Tiga sebanyak 138 unit, Kampung Ulu Tiram, 201 unit, Taman Bestari Perdana, 708 unit, Bandar Layangkasa, 2,876 unit.

Manakala bagi PPR pula, PPR Tiram dengan kos RM130 juta sedang dibina dan telah mencapai peratusan siap melebihi 95% dengan jumlah 700 unit. Pastinya bakal memberi manfaat kepada penduduk di DUN Tiram khususnya daerah Johor Bahru amnya. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Tiram.

Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas jawapan tersebut. Disentuh juga tentang PPR Tiram sebentar tadi. Jadi kalau boleh Yang Berhormat EXCO kongsi dengan saya dan dalam Dewan ini apakah status apa ini, kalau boleh dikongsi jangkaan masa untuk penawaran PPR Tiram ini dan juga jangkaan CCC PPR Tiram ini akan selesai?

Selain itu, kalau boleh juga dikongsi kalau ada maklumat yang boleh dikongsi dalam Dewan yang mulia ini, bagaimana pula dengan penawaran rumah sewa kerajaan dalam kawasan DUN Tiram? Sekian, terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Untuk makluman Yang Berhormat DUN Tiram, projek di PPR Ulu Tiram ini adalah projek sakit, eh. Sepatutnya tarikh asal siap tahun 2021, sekarang dah 2023, maknanya dah tertangguh lebih 2 tahun. Ia disebabkan beberapa isu di peringkat teknikal dan funding.

Untuk makluman Yang Berhormat, status terkini untuk kemajuan fizikal melebihi 95%, baki kerja yang masih belum disiapkan oleh pemaju ini ialah termasuk juga pelebaran jalan, pemasangan elektrik, pemasangan pemeriksaan untuk STP, kerja perujian M&E dan untuk di peringkat senarai borang G1 sehingga G21 untuk mendapatkan CCC masih belum diproses.

Untuk makluman Yang Berhormat, bila projek ini dikategorikan projek sakit, tempoh 6 EOT telah diberikan oleh pemaju berkenaan dan bulan ini telah bermula denda LED. Bila projek-projek sakit ini di peringkat kerajaan persekutuan. Ha ini, PPR ini di bawah kerajaan persekutuan punya bajet atau dipanggil di bawah KPKT. Bila kita beri EOT atau dipanggil lanjutan masa, dia akan ada tempoh-tempoh tertentu. Dan tempoh EOT yang terakhir adalah EOT 6, maknanya tempoh kerajaan beri telah tamat. Dan ketika ini, pemaju berkenaan berhadapan dengan denda RM23,000.00 sahaja. Maknanya, kalau lewat sehari dia kena bayar RM23,000.00. Projek ini RM130 juta. Kalau dia lewat sebanyak 60 hari, maknanya 60 hari kali dengan RM23,000.00 dan KPKT tidak akan bayar charge LED ini. Dan secara kesimpulannya, insya-Allah projek ini dijangkakan akan siap pada Q2 bulan April 2024. Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya nak bertanyalah, untuk kita membuat Rumah Mampu Milik ada tak perancangan-perancangan dahulu Majlis Pecah Tanah di kawasan Tebrau dan Pasir Gudang. Jadi kita tahu, bahawa adanya Majlis Pecah Tanah ini bermakna projek tersebut akan bermula. Dan kita tahu jangkaannya bila akan rumah itu akan disiapkan. Itu sahaja. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Ah.. Bila sebut Pelancaran Projek Pecah Tanah Rumah Mampu Milik, saya ingat dalam rekod saya lebih daripada 15 projek yang buat pecah tanah semua terbengkalai.

Jadi isunya di peringkat kerajaan hari ini, kita selain kita memaklumkan bahawa projek itu akan dilaksanakan, perkara yang paling penting ialah kita ada satu jawatankuasa yang dipanggil PDRC yang baru dikuatkuasakan tahun lepas. PDRC ini adalah dengan izin, Plan Design Review Committee di mana kita berjumpa dengan pemaju perumahan ini, kita berbincang di dalam PDRC ini. Jawatankuasa PDRC ini terdiri daripada CEO PKPJ, Pejabat Dato’ PTG, Pejabat Tanah, PlanMalaysia, lepas itu agensi-agensi negeri dan juga persekutuan termasuk juga PBT-PBT.

Dalam PDRC Taskforce ini kita panggil pemaju yang berhutang Rumah Mampu Milik dengan kerajaan negeri yang berhutang eh, untuk makluman Yang Berhormat mungkin boleh saya kongsikan sedikit tentang Dasar Perumahan Johor ini.

Dasar Perumahan Johor seperti semua YB maklum bahawa adalah 60:40. Maknanya, bila pemaju hantar satu-satu projek perumahan, 60% pulang kepada pemaju untuk membuat rumah pasaran bebas. Dia nak jual RM400,000.00, RM600,000.00, RM1 juta, terpulang pada dia 60%. Tetapi, baki 60%, kerajaan negeri mewajibkan membuat Rumah Mampu Milik

ini RM300,000.00 dan ke bawah. RM300,000.00, RM200,000.00, RM150,000.00, RM100,000.00 dan RM50,000.00. Dia ada kategori A, B dan C dan D.

Jadi, dalam PDRC itu, kita panggil pemaju ini, kita ikat melalui time frame. Time frame maksudnya tempoh masa bilakah projek ini akan disiapkan. Contohnya, KM dia bila akan submit SBKS. Lepas itu, Majlis untuk kebenaran Kebenaran Merancang bila. Kita ikat time frame tu. Dulu di peringkat pemaju-pemaju ini kita tak ikat dia dari segi tempoh masa, tetapi sekarang ini kerajaan mewajibkan semua pemaju-pemaju mengikut tempoh masa.

Sebab itu, untuk makluman Yang Berhormat seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, bahawa sasaran kerajaan Johor pada tahun 2022 sehingga 2025 selama tempoh 5 tahun, kita akan membina Rumah Mampu Milik yang harganya RM30,000.00 dan ke bawah sebanyak 30,000 unit. Ini bukan setakat angka, tetapi kita kenal pasti setiap tempat-tempat dan kita tahu time frame atau tempoh masa yang mereka patut siapkan. Terima kasih.

Speaker

Ok, terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

TVET dilihat penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan tenaga kerja berkaitan vokasional dan teknikal di era Revolusi Industri 4.0. Dalam hal ini, apakah inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan peluang pekerjaan graduan ini dapat dimanfaatkan oleh industri tempatan.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Simpang Jeram menanyakan, mengemukakan soalan yang cukup baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menjawab soalan Simpang Jeram dengan soalan TVET dilihat penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan tenaga kerja yang berkaitan vokasional dan teknikal di era Revolusi Industri 4.0, dengan izin. Dalam hal ini, apakah inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan peluang pekerjaan graduan ini dapat dimanfaatkan oleh industri tempatan.

Kebetulan hari ini ada ramai pelajar-pelajar daripada UKM dengan soalan yang cukup baik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Simpang Jeram dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Di Johor kita mempunyai Hub Skill Johor, merupakan insentif awal iaitu daripada awam dan swasta di mana objektif pembangunan hab ini adalah bagi menjalankan program upskilling dan reskilling bagi memacu industri dengan menumpukan kepada 6 sektor ekonomi di negeri Johor. Insentif ini dijalankan berdasarkan kepada Pelan Pembangunan TVET di negeri Johor yang dilancarkan pada tahun 2016.

Berpandukan kepada Pelan Pembangunan TVET Yang Berhormat, TVET Negeri Johor dan Hab ini mampu untuk menyediakan peluang latihan khusus kepada hampir 6,000 pelatih dalam satu masa. Peranan kerajaan negeri juga penting bagi memastikan penghasilan tenaga kerja mahir dan terlatih bagi memenuhi permintaan industri di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat antara usaha-usaha kerajaan negeri Johor menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor lebih dikenali sebagai SMI dalam memastikan peluang pekerjaan graduan ini dapat dimanfaatkan oleh industri tempatan

dengan menganjurkan beberapa siri program gerak kerjaya Johor, sebagai maklumat tambahan Yang Berhormat, program kerjasama dengan pelbagai agensi antaranya PERKESO yang merupakan platform setempat bagi orang ramai, khususnya Bangsa Johor mendapat informasi dan membantu dalam pencarian pekerjaan dalam pelbagai sektor sekali gus membantu majikan mendapat tenaga kerja yang lebih mudah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Simpang Jeram, kemuncak Program Mega Gerak Kerjaya, My Future Job Johor 2023 telah berlangsung pada 15 dan 16 Julai 2023 yang lalu di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru. Sebanyak 2,034 peluang pekerjaan dibuka dengan tawaran gaji sehingga RM14,000.00 dan melalui rekod awal kami, pada 16 Julai 2023 yang lalu, jumlah pemohon yang diterima adalah sebanyak 5,727, manakala 3,764 pemohon telah ditemu duga. Jumlah ini sangat memberangsangkan dan lebih jangkaan Yang Berhormat. Daripada pada jumlah jawatan kosong yang ditawarkan itu, seramai 220 orang pencari kerja telah diterima bekerja on the spot dengan izin, di hari program kerjaya tersebut oleh majikan yang terdiri daripada pelbagai sektor seperti minyak dan gas, perkhidmatan, pendidikan, pembuatan, pembinaan, perhotelan, perladangan, pertanian dan banyak lagi. Manakala sejumlah 1,889 pencari kerja menerima tawaran panggilan temu duga kali kedua. Program yang berlangsung selama 2 hari ini telah pun dikunjungi seramai 7,976 pengunjung dan orang awam daripada sekitar negeri Johor dan negeri-negeri yang berhampiran.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya pasti Yang Berhormat juga mungkin tertanya-tanya siapa yang menawarkan pekerjaan dan pekerjaan apa yang ditawarkan. Menjawab soalan Yang Berhormat dan merujuk kepada persoalan-persoalan Yang Berhormat berkaitan dengan kepentingan TVET dan adakah industri tempatan memanfaatkan peluang pekerjaan tersedia, jawapannya semestinya ya Yang Berhormat. Kenapa saya katakan sedemikian? Kerana menerusi Program Mega Gerak Kerjaya tadi, berjaya menarik penyertaan lebih dari 33 buah majikan yang merupakan industri utama memberikan peluang pekerjaan kepada para pencari kerja khususnya telah memberikan kerjasama yang baik, seterusnya menjayakan agenda Johor. Antaranya majikan yang telah mengambil bahagian adalah Malaysian Marine and Heavy Engineering, Johor Plantation Berhad, KPJ Johor Specialist Hospital, Pos Malaysia dan Malaysia Automative Property dan IOT Institut dan banyak lagi syarikat-syarikat daripada pelbagai sektor serta industri di Malaysia.

Lebih 70% pekerjaan yang ditawarkan sememangnya berkaitan dengan TVET. Itu adalah acara kemuncak Mega Gerak Kerjaya, My Future Job, tetapi suka untuk saya kongsikan kepada Yang Berhormat Simpang Jeram dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Johor menerusi SMI turut mengadakan 7 lagi program yang sama sepanjang tahun 2023, termasuklah Program Outreach kita akan bergerak sampai ke bawah Yang Berhormat. Gerak Kerjaya Johor yang menyaksikan keseluruhan jumlah majikan terlibat, termasuk dengan Program-Program Mega Gerak Kerjaya sebagaimana saya nyatakan di awal tadi adalah sebanyak 117 dengan 11,587 tawaran kerja, pekerjaan ditawarkan. Daripada jumlah itu, seramai 10,916 orang ditemu duga dan 3,659 ditawarkan peluang temu duga kedua. Daripada semua lapan-lapan Program Gerak Kerjaya Johor ini seramai 772 orang mendapat tawaran terus pekerjaan. Terima kasih Yang Berhormat dengan soalan itu. Terima kasih.

Speaker

Ha, er.

Puteri Wangsa, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Puteri Wangsa, minta maaf. Sila.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan sebentar tadi. Pertamanya, saya nak ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor atas usaha untuk membuat Johor Insight, di mana saya jangkakan bahawa Johor Insight ini akan menggunakan satu program bid data dengan membuat forecast industri-industri yang akan datang ke Johor dan pada masa akan datang.

Soalan saya, sekiranya menerusi Johor Insight ini, Kerajaan Negeri Johor ada perancangan untuk menjalankan kerjasama bersama dengan IPTA dan IPTS terutama sekali dalam negeri Johor supaya forecast yang dibuat akan dapat disepadankan dengan peluang pendidikan dalam negeri Johor kerana kita tidak mahu lagi ada isu di mana pelajar-pelajar sambung pendidikan tinggi namun pekerjaan itu menjadi dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker obsolete, pada masa akan datang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih dengan soalan Puteri Wangsa, soalan yang cukup bagus dan saya rasa, saya akan berkongsi sedikit pada Yang Berhormat. Beberapa siri yang telah saya berjumpa dengan pasukan kami dan untuk makluman Yang Berhormat Puteri Wangsa dan semua Ahli Dewan yang mulia ini, SMI telah pun mewujudkan satu team pemandu, yang mana kerjasama di semua agensi pemberi peluang pekerjaan dan juga suka saya ingatkan kepada Yang Berhormat, insya-Allah pada tahun hadapan dari segi gerak kerja kami mungkin berbeza daripada hari ini.

Dan saya pun telah meminta kepada agensi-agensi di bawah saya khususnya kepada yang meng offer dengan izin, peluang pekerjaan ini agar disekalikan bersama dengan unit kami SMI untuk gerak terus, apabila kita tahu sesuatu universiti itu akan mengadakan convo kita akan terus buka booth dan apa peluang pekerjaan mereka inginkan selepas tamat mereka mengambil graduate so sebab itulah saya minta Strategik Modal Insan PERKESO untuk duduk bersama dan semua 49, lebih daripada 49 agensi yang menawarkan tawaran kerja ini untuk kita akan turun ke out reach, ke akar umbi dan seterusnya ke universiti-universiti dalam program-program konvokesyen dan kita akan terus buka jika diizinkan, membuka ruangan pameran, booth untuk menawarkan pekerjaan setelah mereka graduate, insya-Allah, Yang Berhormat. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.

Berapakah jumlah bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan kepada penerima bantuan JKM OKU dan lain-lain bagi meringankan beban perbelanjaan mereka dan adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk meningkatkan jumlah bantuan tersebut?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Penawar. Soalan yang diberikan kepada saya adalah berapakah jumlah bantuan yang telah disalurkan oleh kerajaan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU dan lain-lain dalam meringankan beban perbelanjaan mereka dan adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk meningkatkan jumlah bantuan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat amat prihatin dengan senario ekonomi pada hari ini yang berada dalam keadaan mencabar dan tidak menentu. Justeru, JKM komited dalam menyediakan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua kumpulan sasar, jabatan yang

memerlukan. Sebagai kerajaan negeri yang prihatin pada tahun 2021, kadar bantuan am telah dinaikkan daripada RM200.00 sebulan kepada RM300.00 sebulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada kenaikan bantuan am tersebut, kajian semula berkaitan kadar bantuan kewangan persekutuan juga telah dilaksanakan melalui Januari 2021. Kadar bantuan kewangan bulanan JKM telah dinaikkan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Bilangan 19 Tahun 2022. Dan kenaikan baru bantuan kewangan persekutuan bagi bantuan kanak-kanak, bantuan orang tua atau sekarang dikenali dengan bantuan warga emas, elaun pekerja cacat, elaun bantuan OKU tidak berupaya bekerja dan bantuan penjagaan OKU terlantar, pesakit kronik terlantar adalah seperti berikut:-

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya sebutkan jumlah-jumlah bantuan tersebut.

1. Elaun pekerja cacat kini dikenali sebagai elaun pekerja OKU daripada RM400.00 kepada RM450.00 sebulan dengan had kelayakan pendapatan RM1,500.00 sebulan berbanding sebelum ini RM1,200.00 sebulan.

2. Bantuan kanak-kanak, bantuan maksimum dinaikkan dari RM450.00 sebulan kepada RM1,000.00 sebulan bergantung kepada jumlah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, 6 tahun ke bawah ditetapkan RM200.00 sebulan manakala 6 hingga 18 tahun ditetapkan RM150.00 sebulan.

3. Bantuan orang tua atau dikenali sekarang dengan bantuan warga emas dinaikkan dari RM350.00 sebulan kepada RM500.00 sebulan.

4. Bantuan OKU tidak berupaya bekerja dinaikkan dari RM250.00 kepada RM300.00 sebulan.

5. Bantuan penjagaan OKU terlantar, pesakit kronik terlantar dinaikkan dari RM350.00 kepada RM500.00 sebulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mengkaji dan menyelaras kembali penggunaan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu kenaikan daripada RM960.00 kepada RM1,160.00 untuk pendapatan isi rumah. Manakala untuk pendapatan per kapita telah dinaikkan dari RM224.00 kepada RM320.00. Kadar kenaikan ini dilaksanakan menerusi Pekeliling Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bilangan 11 Tahun 2021 dan penggunaan pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2019. Sebagai syarat permohonan bantuan kewangan persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, kenaikan ini adalah bertujuan membantu kumpulan sasar yang berkelayakan menerima bantuan skim yang bersesuaian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu juga JKM juga menawarkan geran pelancaran kepada golongan OKU yang berminat untuk menjalankan perniagaan, berkemahiran dan berpotensi untuk menjana pendapatan individu dan keluarga. Kadar geran akan diberi sekali gus kepada individu sehingga RM2,700.00 bagi menggalakkan dan membantu klien mencapai matlamat ke arah hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput, Yang Berhormat Maharani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.

Berapakah jumlah guru-guru agama di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dan Pusat Islam Johor yang berstatus kontrak dan adakah kerajaan bercadang untuk menyerapkan guru-guru berkenaan kepada perjawatan tetap dan berpencen?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada dua soalan yang sama.

Speaker

Minta maaf, saya jemput Yang Berhormat Kukup.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 9.

Sebagai rakyat Bangsa Johor kita berbangga dengan sistem Sekolah Agama Negeri. Namun demikian, apakah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kemudahan di kebanyakan sekolah agama yang begitu usang dan tidak diselenggara dengan baik serta masalah kekurangan guru agama di sekolah agama negeri.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya terima dua soalan dari Yang Berhormat Kukup dan Yang Berhormat Maharani. Saya mohon izin untuk menjawab bersekali. Soalan yang pertama dari ADUN Kukup adalah mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan kemudahan di sekolah-sekolah agama.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor begitu prihatin berkenaan penyelenggaraan sekolah agama kerana sekolah yang cemerlang akan melahirkan generasi yang terbilang. Permohonan bagi penyelenggaraan setiap tahun adalah tidak kurang daripada 150 sehingga 200 permohonan daripada keseluruhan sekolah agama yang berjumlah 583. Setiap permohonan ini akan dinilai mengikut kategori kritikal dan tidak kritikal. Bagi kategori kritikal melibatkan pendawaian, bumbung dan tandas setakat ini sebanyak 150 buah sekolah agama telah dikategorikan sebagai kritikal dan perlu dibaik pulih segera.

Pada tahun ini sebanyak 50 buah sekolah agama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 juta bagi maksud baik pulih sekolah telah dijalankan. Baki 100 buah sekolah yang belum dibaik pulih akan dilaksana pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM12 juta, kenaikan 3 kali ganda. Kerjasama kerajaan negeri dengan pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor, PIJ dan lain-lain. Kerajaan negeri melalui Bahagian Pendidikan Islam telah memajukan permohonan baik pulih kepada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebanyak RM15.8 juta, di mana RM9.8 juta bagi baik pulih 64 buah sekolah agama dan RM6 juta bagi baik pulih 51 buah sekolah agama swasta. Buat masa ini, permohonan sedang dalam perhatian dan tempoh kelulusan JAKIM.

Bagi maksud penggantian perabot sekolah agama yang usang, pada tahun ini kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta yang telah memberi manfaat kepada 158 buah sekolah yang melibatkan penggantian 9,370 buah perabot termasuk meja dan kerusi serta peralatan kerusi meja kantin. Pada tahun hadapan, peruntukan ini dinaikkan kepada RM3 juta. Dengan kenaikan tersebut, lebih banyak perabot sekolah yang usang dapat digantikan dengan yang baharu. Pada tahun ini juga, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah menjalankan pemantauan tandas terhadap 583 buah sekolah agama. Dan hasil pemantauan tersebut, sebanyak 3,800 kerosakan dilaporkan merangkumi kerosakan pam tandas, pintu, tandas tersumbat dan lain-lain yang melibatkan kos kecemasan RM500,000.00 kerja baik pulih telah dan sedang dilaksanakan.

Untuk maklumat Yang Berhormat, sebagai inisiatif bagi memastikan peruntukan baik pulih sekolah-sekolah agama ini dapat disalurkan menggunakan prosedur yang betul dan mengelakkan ketirisan dalam permohonan, kerajaan negeri untuk Bajet 2024 telah memperuntukkan RM64,000.00 bagi pembangunan sistem penyelarasan peruntukan baik pulih sekolah agama untuk dibangunkan. Ini bertujuan memudahkan mana-mana jabatan atau agensi luar untuk membuat semakan terhadap mana-mana sekolah yang membuat permohonan sebelum penyaluran bantuan diluluskan. Permohonan sistem ini dipanjangkan kepada masjid dan surau bagi tempoh yang sama.

Sebagai tambahan, bagi DUN Kukup setakat ini sebanyak 2 permohonan baik pulih sekolah agama telah diterima iaitu Sekolah Agama Penerok dan Sekolah Agama Belokok. Bagi isu perjawatan guru Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan kedua daripada ADUN Kukup dan ADUN Maharani mengenai masalah kekurangan guru dan penyerapan guru kontrak kepada tetap.

Untuk makluman Dewan yang Mulia, kerajaan negeri memandang serius akan kekosongan guru-guru yang dihadapi oleh sekolah-sekolah agama kerajaan Johor, terutama bagi isu penghijrahan ke Kementerian Pelajaran Malaysia yang menjadikan kekosongan guru sekolah agama semakin bertambah. Guru di sekolah agama kerajaan Johor seramai 2,348 orang yang telah diisi daripada 3,244 keseluruhannya dan dibantu oleh guru KAFA seramai 2,000 orang bagi mengajar di 583 buah sekolah dengan kapasiti murid seramai 198,375 orang. Kerajaan negeri sedar akan kekurangan guru di sekolah agama disebabkan oleh isu perpindahan guru, guru bersara dan guru meninggal dunia, jika tidak diatasi akan merencatkan pembelajaran murid-murid. Bagi mengatasi masalah ini, pengisian kekosongan jawatan perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bagi gred DG29 dan DG41 sentiasa dalam perhatian dan tindakan kerajaan Johor.

Untuk makluman Dewan yang mulia, kekosongan guru agama setakat ini adalah seramai 658 orang bagi gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41. Kerajaan Johor telah membuat permohonan kepada SUK Bahagian Pengurusan Sumber Manusia untuk membuat lantikan Pegawai Perkhidmatan DG29 dan DG41 pada Disember 2022 yang lalu. Pada Januari 2023, Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor telah bermesyuarat dengan Bahagian BPSM yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bagi membincangkan isu ini. Hasil mesyuarat tersebut dicadangkan untuk membuat lantikan secara tetap dan kontrak secara berperingkat bagi mengatasi masalah kekosongan guru. Cadangan lantikan guru kontrak dan waran tetap adalah disebabkan oleh kekangan kewangan. Dan oleh sebab itu, lantikan kontrak ini dicadangkan. Bahagian Pendidikan Islam telah memohon lantikan secara kontrak dan tetap sebanyak 631 waran bagi jawatan DG29 dan 57 waran bagi jawatan DG41. Tindakan seterusnya akan dibawa oleh pihak BPSM dan SPAJ. Suka saya maklumkan di sini bahawa kerajaan Johor akan melantik seramai 300 orang guru sekolah agama DG29 berstatus tetap dan akan diproses penempatannya pada tahun hadapan. Dan seramai 295 orang guru DG29 berstatus kontrak akan dilantik pada tahun hadapan.

Soalannya kenapa hanya 259 orang guru berstatus kontrak diluluskan berbanding dengan permohonan 331? Ini kerana kebanyakan permohonan tidak melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan. Antaranya tidak melepasi sesi temu duga di bawah SPAJ. Ini bakal mengisi 559 kekosongan. Bagi DG41 pula, proses temu duga dan penempatan akan dilaksanakan pada tahun hadapan untuk mengisi kekosongan 57 jumlah. Bagi guru-guru yang kontrak sekiranya terdapat kekosongan bagi waran tetap, guru-guru kontrak ini akan diberikan keutamaan dan pertimbangan untuk diserapkan.

Untuk makluman Dewan yang mulia, semua guru yang berstatus kontrak ini adalah gred DB17 yang mengajar di sekolah agama kerajaan Johor dan guru gred S19 di tadika agama

Johor. Jumlah guru-guru agama gred DB17 seramai 36 orang yang bertugas di sekolah agama kerajaan Johor, guru tadika agama Johor gred S19 seramai 291 orang.

Lantikan guru agama gred DB17 adalah pada tahun 1994 hingga 2006 atas kelulusan MMK yang pada ketika itu memerlukan atas sebab kekurangan perjawatan guru. Pada ketika ini, guru-guru dilantik secara kontrak sementara, waran tetap tiada. Jadi dalam pengambilan guru DB17 kontrak, syaratnya tidak wajib mempunyai diploma pendidikan, cuma perlu ada sijil SPM. Jadi perancangan seterusnya mereka yang diambil dengan kelayakan SPM diberi kelebihan untuk sambung belajar di bawah tajaan Jabatan Agama Islam Johor di Maktab Temenggong Ibrahim. Tamat pengajian disyorkan untuk mohon guru DG29 di bawah SPAJ. Lantikan DB17 pada ketika itu dalam 200 orang lebih guru, bagi 36 orang ini didapati tidak mencukupi syarat pelantikannya. Bagi guru-guru agama gred DB17, mereka ini tidak dapat diserapkan ke status tetap disebabkan tidak memenuhi kelayakan syarat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun semua guru-guru ini telah mendapat gaji maksimum, manakala guru tadika agama Johor gred S19 mendapat kelulusan lantikan kontrak daripada SUKJ BPSM pada tahun 2019.

Bahagian Pendidikan Islam sememangnya mempunyai perancangan untuk melantik dan menambah baik lantikan Tadika Agama Johor kepada lantikan tetap. Walau bagaimanapun, perkara ini memerlukan trade off jawatan tetap yang sedia ada iaitu sebagaimana kehendak JPA. Kerajaan negeri sentiasa peka dengan masalah kekurangan guru dari semasa ke semasa dan insya-Allah akan sentiasa membuat penambahbaikan. Terima kasih.

Mohon soalan tambahan.

Speaker

Ya, sila Maharani.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih di atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Berkaitan dengan guru-guru aliran agama, ada di antara guru-guru aliran agama ini yang memohon menjadi guru takmir di masjid dan juga di surau. Ada di antaranya yang telah pun memohon untuk temu duga hingga 2 ataupun 3 kali tetapi masih lagi tidak mendapat kelulusan untuk mengajar sebagai guru takmir di surau atau pun di masjid. Dan sedangkan mereka ini mempunyai kelayakan dan juga berkelulusan sama ada daripada Mesir, Jordan dan sebagainya yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor. Dan saya mencadangkan agar birokrasi ini dapat dikurangkan supaya permohonan mereka ini dapat diluluskan dengan segera bagi memenuhi keperluan guru-guru takmir di masjid dan surau. Apa cadangan Yang Berhormat? Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Maharani atas soalan tambahan. Isunya kenapa guru-guru sekolah agama sedia ada tak terus diberikan tauliah mengajar di masjid/surau?

Yang Berhormat Datuk Speaker, sememangnya guru-guru sekolah agama tidak secara automatik boleh mengajar di masjid surau. Pertamanya kelayakan guru-guru sekolah agama adalah untuk mengajar silibus di sekolah-sekolah agama semata-mata. Memperakui sebahagian daripada mereka mempunyai kelulusan yang baik daripada universiti-universiti awam mahu pun luar negara, namun di Johor ada kaedahnya Datuk Speaker. Semua yang ingin mengajar, ceramah agama dan sebagainya di masjid surau mahu pun di tempat-tempat awam di negeri Johor mesti ada tauliah. Seperti Yang Berhormat Maharani sebutkan sebahagian ini telah memohon 2, 3 tahun tapi masih belum ada jawapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya kira kita perlu memberikan keyakinan kepada agensi kerajaan terutamanya Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan juga Jabatan Mufti dalam mengelola dan juga mengendalikan urusan tauliah ini. Ada kriteria-kriteria yang perlu

dipenuhi dan sudah pasti Yang Berhormat Datuk Speaker, kelulusan semata-mata tidak menjamin mereka itu layak, kalau cara Johor. Semakan daripada badan-badan berauthority juga diperlukan. Ini juga menjadikan pertimbangan tambahan sebelum seorang penceramah atau guru agama boleh melebarkan keupayaan mengajarnya di semua masjid dan surau. Walau bagaimanapun Yang Berhormat Maharani, saya mengambil maklum bahawa sebahagian red tape yang ada perlu disingkatkan. Dan sekurang-kurangnya semua pemohon ini perlu diberikan maklumat awal, kenapakah permohonan mereka masih belum berjawab? Ini saya ambil sebagai satu teguran yang baik.

Apa pun secara umumnya Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga kini untuk daerah Muar sahaja daripada 200 orang guru agama, 24 orang daripada mereka sekolah agama telah pun mendapat tauliah. Termasuk sebahagian daripada mereka yang layak akan dapat, tetapi mereka yang masih belum mendapat kelulusan, saya ambil perhatian dan saya akan semak dengan Jabatan, tetapi secara perjawapannya sebahagian mereka ini berkemungkinan memerlukan tambahan-tambahan semakan juga kelulusan tambahan yang perlu diperhalusi. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada jawapan yang diberi kepada Yang Berhormat EXCO. Berkenaan dengan kemudahan dan juga kekurangan guru di sekolah-sekolah agama amat ketara sebenarnya. Dan juga didapati apabila kekurangan guru di sekolah agama ni, kebanyakan soal murid, pengurusan murid dan juga pengurusan kemudahan asas dilakukan oleh guru itu sendiri. Dengan keadaan kekurangan guru, ini juga akan lebih meruncingkan lagi pengurusan pihak sekolah agama. Saya ingin bertanya adakah pihak kerajaan negeri bercadang untuk melantik anggota kumpulan pelaksana seperti kerani, pembantu am ataupun jaga sekolah di sekolah agama, setidak-tidaknya bagi membantu apa yang dibuat oleh guru-guru yang ada sekarang ini? Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Berkenaan dengan kekurangan tenaga perkeranian di sekolah agama Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya kerajaan Johor telah pun membuat penambahbaikan yang akan bermula pada tahun hadapan walaupun tidak kita ambil kerani sebagai perjawatan tambahan di sekolah-sekolah agama, tapi insya-Allah satu timbal guna tempoh pengajaran sekolah kebangsaan akan mula diterapkan di sekolah-sekolah agama kita dengan menambahkan waktu kehadiran guru-guru ke sekolah agama lebih awal.

Bermula tahun hadapan, guru-guru sekolah agama kita akan masuk sekolah lebih awal Yang Berhormat Datuk Speaker, berbanding pada ketika ini bermula jam 2.00 petang dan berakhir 6.30 petang. Bagi maksud menampung kekurangan perkeranian di sekolah-sekolah agama, guru-guru ini akan diminta hadir pada lebih awal bermula jam 12.30 pada tahun hadapan bagi maksud mereka menyempurnakan tugas-tugas perkeranian terlebih dahulu. Ini adalah pelan untuk menampung isu kekangan kewangan tapi dalam masa yang sama menimbal guna tempoh masa yang ada dan penambahan waktu kerja mereka ini Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya memberi kelebihan kepada guru-guru sekolah agama, apabila mereka dapat nanti menimbal guna kenaikan gred melalui gred guru-guru sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia apabila waktu bekerja mereka telah pun ditambah daripada 4 kepada 6 jam. Ini adalah kaedah yang kerajaan negeri usulkan bagi menampung kekurangan perkeranian, tapi dapat melakukan penjimatan di dalam masa yang sama mengurangkan isu perkeranian di sekolah-sekolah.Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.

Berapakah jumlah Program Jualan Rahmah telah diadakan di setiap daerah negeri Johor setakat ini?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Jualan Rahmah merupakan salah satu program di bawah inisiatif payung rahmah yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Ia menawarkan diskaun harga ataupun subsidi antara 10% hingga 30% daripada harga tawaran peniaga vendor pasar raya yang dilantik bagi menyertai jualan tersebut. Mana-mana peruncit, pemilik pasar mini, kedai runcit, pasar raya yang berminat boleh menyertai Program Jualan Rahmah anjuran KPDN memandangkan pelaksanaan jualan rahmah dalam premis di pasar mini, kedai runcit, pasar raya secara tidak langsung membantu meningkatkan jualan harian dan juga mempromosikan premis tersebut.

Dan setakat mulai 1 Februari 2023 hingga 15 November 2023, Program Rahmah telah pun dijalankan sebanyak 335 kali di negeri Johor dan pecahan mengikut daerah adalah seperti berikut: 100 kali bagi daerah Batu Pahat, 136 bagi Johor Bahru, 87 untuk Kluang, 96 untuk Kota Tinggi, 30 untuk Kulai, 29 untuk Tangkak, 25 untuk Mersing, 91 untuk Muar, 56 untuk Pontian dan 85 kali untuk daerah Segamat.

Dan pecahan mengikut modul yang telah pun dilaksanakan adalah seperti berikut: Jualan Rahmah dalam premis atau pun indoor sebanyak 391 kali. Jualan Rahmah luar premis outdoor sebanyak 19 kali. Manakala, Jualan Rahmah bergerak atau pun mobile adalah sebanyak 325 kali. Dan jumlah perbelanjaan kerajaan untuk menjalankan Program Jualan Rahmah di negeri Johor setakat ini adalah RM4,357,623.75 dan jumlah ketua isi rumah yang dijangka mendapat manfaat daripada Program Jualan Rahmah yang telah pun dianjurkan sepanjang masa ini adalah dianggarkan sebagai 850,000 ketua isi rumah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Ya, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO atas jawapan yang diberi. Jadi setakat ini, berapakah jumlah nilai jualan keseluruhan untuk Jualan Rahmah ini? Dan ada satu cadangan untuk menambah baik sama ada boleh dipertimbangkan di manakah Jualan Rahmah bergerak atau mobile ini boleh ditetapkan jadual dia atau pun lokasinya supaya lebih memudahkan orang awam untuk membeli barang? Sekian, terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Ya, Jualan Rahmah telah pun mendapat satu sambutan yang sangat-sangat baik daripada semua lapisan masyarakat. Dan Kementerian sedang dalam usaha untuk memperbaiki cara gerak kerja untuk tahun depan. Dan setakat ini memang kita menjalankan Jualan Rahmah sebanyak 2 hingga 3 kali untuk setiap kawasan Parlimen. Dan untuk tahun depan tertakluk kepada peruntukan kerajaan persekutuan di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun mengumumkan sebanyak RM200 juta untuk seluruh negara untuk inisiatif Payung Rahmah dan antaranya RM150 juta akan digunakan untuk Jualan Rahmah.

Dan untuk tahun depan kita akan melalui pejabat daerah melalui Pejabat KPDN daerah di setiap daerah untuk berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen atau pun ADUN-ADUN berkaitan dengan jadual melaksanakan Program Jualan Rahmah.

Dan untuk makluman juga, untuk melaksanakan Jualan Rahmah secara bergerak mobile, kos operasi kebiasaannya adalah RM500.00 untuk setiap trip. Manakala, subsidi yang diperuntukkan untuk setiap Parlimen untuk setiap bulan adalah RM50,000.00. Maka, untuk Jualan Rahmah dalam premis, kos promosi adalah RM1,000.00, manakala subsidi yang di kita bagikan kepada setiap peruncit adalah RM6,000.00 untuk setiap kali. Manakala, untuk jumlah jualan setakat ini kita belum ada satu angka untuk keseluruhan untuk tahun ini, tapi saya akan memberikan jawapan semasa penggulungan untuk sesi ini. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat, Mengkibol nak tanya ke? Sila.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Jualan Rahmah terutamanya Jualan Rahmah bergerak dianjurkan mendapat sambutan baik dan 30 lebih item yang dapat diskaun ini, saya dapati ini juga banyak manfaat, kedai runcit atau supermarket yang berkolaborasi. Soalan saya adakah pihak kerajaan menentukan berapa subsidi atau pun nisbah diskaun yang juga perlu disumbang oleh pihak kolaborasi daripada pihak supermarket, kedai runcit. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Untuk makluman Yang Berhormat Mengkibol, kerajaan tidak menentukan jumlah atau pun nisbah yang perlu di sumbang oleh pihak syarikat atau pun pihak peruncit yang terlibat dalam Jualan Rahmah tetapi sasaran kerajaan atau melalui KPDN adalah 10 hingga 30%. Maka, kita setiap kali akan bincang dengan rakan strategik kita, seperti Pasar Raya Maslee, NSK dan sebagainya supaya mereka menawarkan diskaun antara lingkungan 10 hingga 30%. Bagi siapa-siapa ataupun peruncit ataupun pasar raya yang dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak kementerian, maka kita akan memberi keutamaan untuk melaksanakan Jualan Rahmah di premis tersebut supaya kita dapat manfaatkan seberapa banyak kepada Bangsa Johor. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tiram.

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tiram nombor 11.

Apakah punca yang menyebabkan pengguna jalan raya marah dengan proses pembaikan jalan yang dilakukan di kawasan daerah Johor Bahru sehingga tular di dalam media sosial? Kebanyakan kes pembaikan jalan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak masuk akal. Mohon penjelasan.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tiram. Untuk makluman Ahli Dewan sekalian, antara isu kesesakan yang viral baru-baru ini adalah khususnya di Lebuh raya Pasir Gudang. Lebuh raya Pasir Gudang ini merupakan jalan persekutuan. Faktor utama yang menyumbang kepada kesesakan tersebut ialah pertambahan bilangan kerja-kerja pembaikan.

Untuk makluman semua, pada tahun 2023, sebanyak 27 lokasi kerosakan menerima peruntukan daripada kerajaan pusat dan semua kerja-kerja pembaikan ini perlu dilakukan pada tahun ini juga. Sebagai perbandingan, pada tahun 2021, hanya 11 kerja diluluskan berbanding 34 kerja yang dimohon. Maafkan saya, 41 kerja pembaikan dipohon tetapi hanya 12 kerja sahaja diluluskan. Manakala, pada tahun 2022, hanya 11 kerja diluluskan berbanding 34 kerja yang dimohon.

Alhamdulillah, pada tahun ini, sebanyak 27 kerja yang dimohon, kesemuanya lulus. Ini adalah usaha bersepadu oleh Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Yang Amat

Berhormat Dato’ Menteri Besar sendiri yang sentiasa turun padang menunjukkan komitmen yang tinggi bagi menyelesaikan isu kerosakan jalan raya khususnya di Pasir Gudang.

Komitmen ini dan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat telah mendatangkan hasil yang baik kepada kerajaan. Selain daripada 27 kerja yang diluluskan di kawasan Pasir Gudang terdapat 115 kerja lagi dilaksanakan di kawasan lain dalam Johor Bahru. Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh JKR negeri sebanyak 19 kerja, Pihak Berkuasa Tempatan 63 kerja dan jalan persekutuan 33 kerja.

Selain faktor kerja yang banyak dilakukan, kaedah yang dilaksanakan juga turut menyumbang kepada kesesakan. Ini adalah kerana sebahagian besar kerja pembaikan yang dilakukan adalah menggunakan kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR) yang mana kaedah ini memerlukan jalan dikorek, dibancuh dengan simen dan perlu dibiarkan terbuka selama 72 jam iaitu 3 hari. Hal ini yang selalu disalah faham oleh pengguna jalan raya apabila mereka fikir jalan tersebut dibiarkan tanpa pemantauan atau kerja terbengkalai.

Bagi mempercepatkan lagi tempoh kaedah ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, JKR telah memendekkan tempoh tersebut daripada 72 jam kepada 12 jam tetapi dengan syarat ketahanan bancuhan simen menepati syarat yang ditetapkan. Kerja-kerja CIPR ini melibatkan tempoh masa yang agak lama tetapi memberikan ketahanan yang lebih tinggi dan mengelakkan kerosakan daripada berulang.

Faktor lain yang menyumbang kepada kesesakan teruk tempoh hari ialah kebanyakan kerja-kerja ini dilakukan dalam tempoh masa yang singkat dan ini menyebabkan laluan-laluan alternatif juga menjadi sesak. Meskipun pihak-pihak berkuasa seperti PDRM dan Majlis Bandaraya Johor Bahru serta yang lain-lain turut membantu bagi menjaga, melancarkan aliran trafik, tetapi akibat terlalu banyak kereta jalan alternatif juga sesak dan tempoh kerja yang panjang dan berlaku secara serentak kesesakan tersebut tidak dapat dielakkan.

Ada juga sesetengah kesesakan disebabkan oleh kerja-kerja yang turut dilakukan di laluan alternatif dan kerja-kerja pembangunan yang melibatkan penutupan jalan seperti kerja-kerja Rapid Transit System (RTS). Ini kerana seperti yang saya nyatakan tadi pelbagai agensi yang melakukan pembaikan secara serentak dan ada diantaranya yang tidak berkomunikasi dengan sempurna.

Untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku lagi, satu jawatankuasa menangani kesesakan bandar Johor Bahru telah ditubuhkan dan telah bermesyuarat sebanyak 2 kali bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang sering berlaku kesesakan dan punca-punca kesesakan ini. Kami memantau semua punca, sama ada disebabkan bilangan kenderaan yang banyak, keadaan jalan yang sempit atau bottleneck, kerja-kerja pembangunan yang mengakibatkan jalan ditutup seperti kerja-kerja utiliti dan sebagainya. Kemalangan juga menyumbang kepada kesesakan ini selain koordinasi kerja-kerja ini dilakukan.

Jawatankuasa ini disertai oleh semua jabatan dan agensi yang berkaitan. Beberapa cadangan telah diteliti dan pihak jawatankuasa sentiasa terbuka menerima apa-apa jua cadangan daripada semua pihak. Jawatankuasa ini akan meneliti bukan sahaja lokasi kesesakan, kaedah menanganinya, pemantauan kerja-kerja pembaikan jalan atau kerja yang melibatkan penutupan jalan serta melihat kembali SOP-SOP yang berkaitan bagi tujuan penambahbaikan. Terima kasih.

Speaker

Jadi kalau boleh Yang Berhormat, buat selepas 12.00 malam tak boleh ke? Ya, jadi kuranglah sikit. Macam semalam saya tengok di Sebana Resort, saya nak ke sana tu, jammed teruk. Sedangkan saya kena naik pelamin untuk merenjis. Mujur bukan saya pengantin. Ok ada soalan tambahan? Jemput, Tiram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas jawapan tersebut. Cuma tadi Yang Berhormat EXCO sentuh mungkin di Lebuh Raya Pasir Gudang, kerana soalan saya pun melibatkan kawasan daerah Johor Bahru. Cuma soalan ini saya bangkitkan kerana baru-baru ini berlaku kesesakan luar biasa. Maksud luar biasa itu, jalan daripada arah Kota Tinggi ke Johor Bahru. Melibatkan sehingga daripada Kota Tinggi ke Johor Bahru itu memakan masa sehingga 5 jam. Termasuklah kawasan-kawasan jalan alternatif yang mereka lalui dalam kawasan DUN Puteri Wangsa, Taman Puteri Wangsa yang turut menyumbang kepada kesesakan, yang mana dalam masa yang sama, saya dimaklumkan turut berlaku pembaikan yang dijalankan serentak.

Dan jawapan Yang Berhormat EXCO juga tadi memaklumkan, mungkin berlaku tiada komunikasi antara agensi-agensi yang menjalankan kerja-kerja pembaikan tersebut. Terima kasih juga saya baru dimaklumkan ada jawatankuasa yang telah diwujudkan. Jadi, saya mengharapkan agar apa jua hasil daripada mesyuarat yang diadakan oleh jawatankuasa tersebut dapat dimaklumkan kepada kami ADUN-ADUN dalam kawasan daerah Johor Bahru ini yang seramai 10 orang ini untuk kita tahu apa dapatan daripada hasil mesyuarat tersebut.

Soalan tambahan saya, mungkin ada perancangan daripada pihak kerajaan untuk membina jalan raya bertingkat dalam kawasan sepanjang jalan daripada Kota Tinggi ke Johor Bahru. Kalau boleh difikirkan perancangannya kerana saya melihat apabila berlaku saja pembaikan jalan di kawasan tersebut, maka kesesakan yang sungguh teruk berlaku dalam kawasan tersebut. Dan saya juga ada mencadangkan kepada pihak JKR, kalau kata dibuat pembaikan di jalan tersebut kalau ada bahu jalan yang boleh diguna, saya harap dapat dibuka kepada laluan kenderaan ringan kerana kita memang dah biasa ada 2 lorong, apabila ditutup 1 lorong dan hanya ada 1 lorong sahaja yang dibenarkan, maka itulah antara punca mungkin penyumbang kepada kesesakan yang lebih teruk. Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tiram. Seperti yang saya maklumkan tadi, kebanyakan kerja-kerja ini Yang Berhormat Datuk Speaker memang ada masalah komunikasi sebahagian daripadanya. Di mana contoh Jalan A, diperbaiki kita declare Jalan B, sebagai alternatif. Tetapi kita tak tahu, Jalan B juga diperbaiki. Jadi disebabkan itu, kita dah tubuhkan satu Jawatankuasa untuk menilai kembali bagaimana SOP pembaikan ini sebab Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak agensi yang menguruskan jalan-jalan dan juga bukan sahaja faktor kerosakan jalan ataupun pembaikan jalan. Sebagai contoh, kerja-kerja pembangunan di tepi jalan seperti RTS yang saya sebutkan tadi. Kerja-kerja RTS ini melibatkan penutupan jalan, dia bukan disebabkan pembaikan jalan tetapi pembangunan yang menyebabkan penutupan jalan.

Sama juga, Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tiram, kita dah perhalusi perkara ini dalam jawatankuasa yang telah kita tubuhkan. Berkaitan dengan cadangan flyover nanti saya akan fikirkan balik bersama dengan pihak JKR untuk kita kaji keberkesanannya.

Jadi, akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, jawatankuasa ini insya-Allah kita terima apa sahaja cadangan daripada semua pihak dan kita dah bermesyuarat sebanyak 2 kali dan kita dah kenal pasti ada 11 lokasi choking point ataupun bottleneck. Dan kita pun ada cadangan-cadangan untuk mengatasinya. Cuma kita perlukan sedikit masa, sebab setiap pembaikan ataupun perubahan pada jalan raya memerlukan kajian trafik. Dan insya-Allah, saya akan explain lebih nanti dalam penggulungan akan datang. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat saya tangguhkan Persidangan ini selama 20 minit dan kita akan masuk balik pada 11.25 pagi.

Persidangan ditangguhkan jam 11.05 pagi.

Persidangan disambung semula jam 11.25 pagi.

Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112(2) maka Perbahasan atas Rundingan itu hendaklah dihadkan kepada nas-nas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana tersebut dalam Rang Undang-Undang ini. Dimaklumkan bahawa tempoh perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat ialah selama 4 hari mulai hari ini 26 November hingga 29 November 2023.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi. Untuk pembahas pertama dan Ketua Pengimbang, masa diberikan ialah selama 45 minit.

Perbahasan atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Yang Kedua Enakmen Perbekalan 2024 Tahun 2023 dimulakan sekarang. Yang Berhormat Mahkota, dijemput.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi ruang kepada Mahkota untuk membuka pentas perbahasan dan membawa suara rakyat. Menjadi pembahas pertama tidak mudah tetapi ianya bukanlah susah. Mahkota mulakan dengan serangkap pantun. Agi idup agi ngelaban, sumpah perjuangan seorang perwira, Maju Johor kita sandarkan, pembangunan dipacu rakyat sejahtera. (Dewan bertepuk).

Mahkota memanjatkan syukur kehadrat Allah SWT bersama ingatan Yang Maha Esa, maka dengan itu kita dapat bersama di Dewan yang mulia ini untuk berbincang dan mencari permuafakatan dalam urusan-urusan berkaitan kemakmuran maju negeri dan kesejahteraan rakyat Johor.

Di kesempatan ini, patik mewakili seluruh rakyat DUN Mahkota dengan hormat dan takzimnya merafak sembah, menjunjung kasih mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 serta sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat DUN Mahkota sentiasa mendoakan Kebawah Duli Tuanku serta seluruh kerabat diraja dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan.

Patik dan seluruh rakyat DUN Mahkota juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dipersembahkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Didoakan semoga Tuanku dapat melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa diberikan Allah SWT seluruh rakyat dan DUN Mahkota juga dengan hormat dan takzimnya merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah membawa pasukan bola sepak JDT jauh di persada dengan kejayaan merangkumi Piala Sumbangsih, Piala FA juga

mengulungi kejuaraan liga Super 10 kali berturut-turut dan insya-Allah dengan izin Allah, Piala Malaysia selepas ini.

Rakyat Mahkota berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta kerabat sentiasa afiat dan di bawah payung rahmat Allah SWT dalam menerajui Malaysia dan negeri Johor, Insya-Allah. Kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rakyat dan sejahtera yang bertambah dari pemerintahan raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negara. Semoga kerajaan diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Tahniah dititipkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pengurniaan Darjah SMIJ dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan juga pembentangan Bajet 2024 yang sangat komprehensif bagi merealisasikan Maju Johor 2030. Syabas juga kepada Yang Amat Berhormat yang telah memacu Johor dengan prestasi yang cemerlang yang memperlihatkan Johor sebagai penyumbang terbesar pelaburan dan perdagangan Malaysia mengatasi negeri-negeri lain. Insya-Allah, dengan kekuatan dan semangat baru Yang Amat Berhormat akan terus maju memimpin negeri Johor Darul Takzim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin Mahkota memulai perbahasan pada pagi ini mengajak sahabat-sahabat di dalam Dewan ini refresh, dengan izin, niat mauduk dan tujuan kita supaya sama-sama memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat dengan ingatan Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya..” saya sebelum nak bagi maksud ini, tertanya-tanya saya ini orang Arab takut tersalah bagi. Tapi dalam masa sama saya juga kena challenge dengan orang Bugis yang sentiasa berhadis dalam Dewan yang mulia ini.

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukum kepada manusia supaya kamu menetapkan dengan adil dan saksama”. Menjadi kerajaan bukannya semudah yang dituturkan. Ianya bukan berkisar kepada aku yang paling betul ataupun kau yang paling salah. Tetapi ianya merentasi segalanya. Ia berpaksikan niat yang luhur, mauduk yang jelas, tujuan yang berobjektif dengan amanah yang dipikul mesti dilunaskan dan janji itu adalah amanah. Janji bukannya barang kosmetik yang jika pakai 100 hari guarantee berubah 360 darjah. Dan, barang kosmetik belum tentu ia menjanjikan perubahan yang diimpikan. Sebab itulah bila janji dilihat seperti barang kosmetik, penjualnya petah berkata-kata menjanjikan bulan dan bintang, sudah tentu ramai tertarik, ramai ingin mencuba yang hasilnya belum tentu baiknya.

Kitalah pengimbang, bukannya pembangkang. Telusnya hati pemimpin nusa, buatan Johor bangsa terbilang, hilangkan sengketa ayuh bersama. Marilah kita memanjat kesyukuran Alhamdulillah atas rahmat dan nikmat kesejahteraan yang kita rasai saban hari di negeri bertuah Johor Darul Takzim. Namun dalam masa yang sama, marilah kita terus berdoa untuk rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan rejim Israel. Sesungguhnya Mahkota menyokong pendirian tegas kerajaan terhadap konflik yang sedang berlaku di Palestin kerana kita menolak sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan dan mengutuk tindakan rejim Zionis membunuh insan tidak berdosa di Palestin. Semoga Allah SWT memberikan kemenangan kepada keluarga kita di sana.

Masak gula jadi manisan, buat bekalan masuk ke hutan, belanjawan negeri topik perbahasan, moga sentiasa dapat keberkatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota telah mendengar dan meneliti kandungan ucapan pembentangan Belanjawan 2024 dan mendapati keseluruhan belanjawan yang ditawarkan akan dapat mengarak secara komprehensif, arah tujuan jelas bagi melonjakkan pembangunan Bangsa Johor termasuk transformasi ekonomi negeri secara lebih berkesan. Benarlah dek pepatah lama, orang muda pantas bekerja, minda cerdas lakunya cergas, sangat cepat mendakap maksud, riak rakyat terus disahut.

Syabas dan tahniah anak muda kebanggaan bangsa Johor, Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi yang cakna merealisasikan pelbagai cadangan oleh pemimpin setempat. Jangan lupa ini dah puji, peruntukan kena lebih. Mahkota berpandangan setelah mengamati Belanjawan Negeri Johor 2024, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, dengan menjadikan 6 Teras, 29 Strategi, 99 Inisiatif ianya merupakan belanjawan komprehensif, praktikal, mampu direalisasikan dan continuos enggagement, dengan izin, serta merangkumi semua lapisan masyarakat dengan membabitkan keperluan rakyat masa kini.

Secara keseluruhan, dapat dilihat bahawa belanjawan ini adalah pro rakyat iaitu mengangkat persoalan bagaimana untuk memaksimumkan kesejahteraan rakyat dengan memperkukuhkan jaringan keselamatan sosio dan keperluan asas yang secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada pembangunan prestasi dan juga kemajuan negeri secara holistik. Apa yang diketengahkan ini adalah perkara yang sangat dekat dengan rakyat. Perlu diangkat dan diperkasakan sebagai fokus dalam kehidupan masyarakat kerana ia melibatkan pelbagai aspek ke arah kehidupan yang lebih baik. Maka ini adalah misi yang telah digariskan dalam pelaksanaan menghadapi tahun 2024.

Glory glory Manchester United, Liverpool said you will never walk alone, Dato’ Menteri Besar please don’t worried, Mahkota promise you are not alone, dengan izin. (Dewan bertepuk.)

Terbilangnya kita kerana bersama, bersamanya kita tidak keseorangan, ikhlas jiwa iltizam dan usaha bangunkan Johor cipta kegemilangan, insya-Allah. Alamak, lupa pula nak sebut. Mahkota sebelum pergi jauh lagi, Yang Amat Berhormat tengok je saya, macam ada benda nak minta. Sebelum Mahkota pergi jauh izinkan Mahkota ucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Amat Berhormat kerana pertama kalinya Johor memberikan bonus dua bulan. (Dewan bertepuk).

Sungguhlah tinggi helang bersarang, terbang hinggap di pohon jati, sungguhlah bijaksana MB tersayang, bonus Johor dua bulan penambat hati.

Sungguhlah pipit menawan pagi, cantik si dara berkain satin, sungguhlah wajah seindah budi, MB tersayang sangat prihatin.

Bonus buat penyejuk rasa dan Alhamdulillah atas cakna terhadap poket kami. Habis kita kena jolok hari ini, kali ini, jangan lupa buat kerja melebihi daripada tahun 2023.

Agenda Maju Johor ini adalah gagasan dari sebuah pasukan yang punya niat luhur, mauduk yang jelas dan tujuan yang berobjektif untuk Bangsa Johor. Untuk merealisasikan usaha Bangsa Johor ini, tidak cukup untuk kita bercakap dan berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Tugas kita adalah memastikan secara perancangan ini diturut dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab. Mahkota ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat sebagai Jeneral yang menerajui negeri Johor, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri, para penjawat awam, jabatan-jabatan agensi negeri dan persekutuan, GLC yang telah berjaya usaha-usaha majukan Johor. Kesinambungan daripada itu, kita telah diperlihat dalam buku laporan Maju Johor Setahun Bersama, sebagai contoh Johor telah mencatatkan pelaburan tertinggi dalam negara sebanyak RM70.6 bilion.

Di bawah Johor first lane kelulusan lesen penjaja sementara dan bergerak dari 60 hari kepada 7 hari, 98.8% liputan internet di kawasan berpendudukan, Taman Negara Endau-Rompin diiktiraf sebagai Asian Heritage Park yang ke-51, Johor juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2022. Tahniah YB EXCO Orang Muda, dengan olahraga dan olahragawati terbaik dinobatkan kepada Orang Muda Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menuruti Gagasan Murni Maju Johor 2030 dengan 6 teras utama yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor adalah manifestasi untuk menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Johor. Almarhum Sultan Sir Ibrahim, pernah bertitah, Johor mesti jadi Johor. Bagaimana? Usaha dan ramuan Johor pada hari ini untuk kegemilangan Johor di masa akan datang. Ramuan ini adalah untuk persediaan melengkapkan negeri Johor dan bangsa Johor sebagai unbeatable state dari semua aspek pembangunan fizikal dan manusiawi. Maksudnya urus tadbir kerajaan mesti first class. Pembangunan ekonomi juga first class. Jaringan keselamatan sosial first class. Kemudahan dan keperluan asas first class. Keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar first class dan Orang Muda Johor juga mesti first class dan kacak dan cantik-cantik belaka.

Seorang scholar Islam Said Hawwa mengungkapkan tamadun adalah kemajuan manusia yang berusaha menggabungkan dua bentuk kemajuan iaitu kemajuan fizikal dan kemajuan sosial budaya. Inilah yang kita matlamatkan. Inilah yang kita sedang kita rancangkan. Inilah yang sedang kita bahaskan. Ini juga yang kita mesti laksanakan, realisasikan. Mungkin juga selepas ini Johor akan menjadi Tamadun Bangsa Johor, jika tidak keterlaluan untuk saya ungkapkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah Belanjawan kali ini setiap jiwa di negeri Johor disantuni. Apa yang ditengahkan ini adalah perkara yang sangat dekat dengan rakyat. Perlu diangkat dan diperkasakan sebagai fokus dalam kehidupan masyarakat kerana ia melibatkan pelbagai aspek ke arah kehidupan yang lebih baik. Maka ini adalah misi yang telah digariskan dalam pelaksanaan menghadapi tahun 2024. Belanjawan 2024 turut mengetengahkan pembaharuan yang diperlukan untuk meletakkan Bangsa Johor di landasan tempat ke arah pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang. Peruntukan dalam Belanjawan ini adalah bukti bahawa komitmen kerajaan ada mengutamakan rakyat melalui hala tuju ekonomi misalnya akan dapat menyediakan tenaga kerja berkemahiran, pembangunan usahawan termasuklah golongan mikro, keterjaminan bekalan makanan melalui pelbagai perancangan pembangunan industri dan juga mampu meningkatkan daya saing global.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang pasti kemudahan asas atau infrastruktur kepada rakyat juga menjadi perhatian. Bantuan sara hidup, pendidikan, perumahan mampu milik, pertanian moden meningkatkan ekonomi dan juga hal-hal berkaitan syiar Islam diangkat. Tidak ada golongan tertinggal apabila semua lapisan diberikan perhatian. Daripada penjawat awam, golongan wanita, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya sehinggalah kepada golongan belia. Mahkota mengucapkan syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, kerana telah bersetuju meluluskan peruntukan yang besar untuk Program Flat Awam Jalan Haji Manan yang berada di dalam Kawasan DUN Mahkota. Kalau kita tengok, pembentangan Bajet yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Kluang adalah lebih daripada 9 perkara tapi Mahkota hanya dapat sikit sahaja. Walau bagaimanapun, terima kasih masih ada Mahkota di dalam senarai.

Di sini Mahkota juga ingin mengecek kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor apalah kiranya jika dapat mempertimbangkan Rumah PPR Kluang itu untuk dibina di kawasan Mahkota. Maklumlah Mahkota inikan, di tengah-tengah bandar Kluang. Kalau boleh carilah kawasan, bantulah EXCO Perumahan supaya benda ini mendapat kenyataan. Supaya saya tidak akan dalam keadaan sentiasa mimpi ngeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ‘terbang tinggi hai burung merpati, membawa surat utusan bendahara, belanjawan di bentang jiwa disantuni, demi masa depan rakyat jelata’. Teras tiga jaringan keselamatan sosial, strategi 1 Johor berkebajikan. Mahkota peka dengan nasib golongan gelandangan dan terbiar di negeri Johor. Mereka ini tidur berhadas di merata-rata dan mampu merencatkan usaha Johor Bersih. Jika di wilayah persekutuan Kuala Lumpur

rumah transit gelandangan dinamakan Anjung Kembara. Ianya mustahak bagi kerajaan melalui JKM menyelia dan memudah cara dalam memastikan dapat diurus dengan baik. Mahkota juga ingin menyokong cadangan penambahan penyediaan Rumah Transit Bangsa Johor kepada orang awam termasuklah di Taman Tasik Kluang walaupun luar kawasan Mahkota. Sesungguhnya ia akan memberi manfaat kepada rakyat yang sebelum ini dilanda kerumitan. Dalam masa yang sama Mahkota mencadangkan agar ditubuhkan juga pusat transit orang yang terbiar. Tiada tempat tinggal atau golongan gelandangan dengan menggunakan atau mengubah suai bangunan-bangunan terbiar. Kuarters-kuarters kerajaan yang kosong agar impak terbaik dapat diberikan kepada rakyat dengan mengaplikasikan ruang yang telah ada dicadangkan agar pusat transit sedemikian diwujudkan di setiap DUN agar manfaat menyeluruh dapat dikongsikan bersama.

Untuk makluman Yang Berhormat EXCO, bahawa terdapat juga kadang-kadang dalam sebulan itu dua, tiga orang yang kita jumpa terbiar tidur di atas jambatan, bawah jambatan dan sebagainya. Sebagai ibu tunggal, kalau ianya lelaki saya tidak boleh bawak balik rumah. Hendak tidurkan di mana, jadi inilah keperluan rumah transit yang kita harus bina di setiap DUN. Sungguh tidak dinafikan bahawa Belanjawan 2024 ini banyak memfokuskan kepada kepentingan rakyat. Rakyat menjadi keutamaan dan rakyat sentiasa diangkat untuk dibela setiap masa. Dalam hal ini, menjadi harapan Mahkota agar harta awam yang membabitkan kepentingan rakyat dibaik pulih, diperindahkan dan dinaik taraf selari dengan peningkatan kemajuan Bangsa Johor. Bangunan-bangunan milik kerajaan sama ada perumahan dan sebagainya dicantikkan semula. Balai raya, dewan orang ramai, masjid, surau, taman-taman awam, taman permainan kanak-kanak, tempat-tempat riadah dan sebagainya harus dibaiki dan dijadikan kawasan yang bukan hanya selesa digunakan tetapi juga cantik mata memandang. ‘Dari mana punai melayang, dari sawah turun ke kali, dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati’.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota jua ingin mencadangkan agar diwujudkan satu peruntukan khusus bagi usaha membaik pulih rumah murah kerajaan yang telah dibina berpuluh-puluh tahun dahulu tetapi hari ini rumah-rumah tersebut telah pun usang. Selain membantu rakyat mendapat kediaman yang selesa, usaha ini juga dapat mengindahkan persekitaran dengan mewujudkan kampung atau bandar yang lebih ceria di samping melonjakkan imej taraf hidup rakyat. Untuk tujuan ini, peruntukan pembiayaan boleh diwujudkan mengikut kaedah lama dengan memberi pinjaman semula pada pemilih rumah dan dihadkan maksimum RM15,000.00 sebuah rumah dan dibayar kembali kepada kerajaan secara ansuran bulanan. Ianya melibatkan beberapa kawasan antaranya dalam kawasan Mahkota. Rumah Murah Kampung Melayu 2, Rumah Murah Kluang 1, ini harus diberikan tumpuan dan ia terletak di tengah bandar Kluang. Mahkota juga menyambut baik inisiatif pemasangan lampu jalan melibatkan lampu solar LED di kawasan-kawasan gelap dan persimpangan merbahaya. Justeru Mahkota mencadangkan agar pemasangan lampu solar LED ini diperluaskan dan dibuat secara menyeluruh termasuk juga melibatkan penggantian lampu-lampu yang lama yang kurang berkualiti, malap dan mudah rosak. Dalam hal ini, biarlah sama rata, sama rasa. Semua suka, maka dicadangkan agar pengagihan lampu solar LED ini melibatkan semua dewan negeri dengan peruntukan 50 ke 100 buah lampu solar untuk dipasang termasuklah di kawasan pedalaman.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara isu yang sedang dibangkitkan oleh rakyat sekarang adalah dalam hal berkaitan dengan cukai. Mahkota terpanggil bagi menyalurkan suara golongan pembayar cukai yang sebelum ini mengeluh dan terbeban. Lantaran kenaikan cukai yang akan dilaksanakan, Mahkota puji tindakan YB EXCO PBT, Dato’ Jafni. Ini makna lampu solar kalau ada, beri Kluang dulu kerana memberi respon yang pantas dengan mengemukakan beberapa cadangan menurunkan kadar kenaikan tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Jafni, pertimbangan sewajarkan amat diharapkan agar apa-apa percukaian yang bakal dilaksanakan tahun hadapan adalah mengambil kira kepada luahan dan keluhan rakyat dengan mengutamakan kesejahteraan masyarakat secara holistik.

Mahkota faham bahawa kenaikan dibuat berdasarkan penilaian kediaman dihuni namun masalahnya tidak semua rakyat senang, malah ada yang menghuni kediaman besar kerana hasil peninggalan keluarga. Hakikatnya, mereka mendiami tanpa memiliki kemampuan sebenar. Mahkota akui bahawa cukai harta ini cukai langsung kepada poket rakyat tidak kira B40, M40, T20 yang memiliki rumah hilang dan lain-lain harta. Kesan dominan perlu diambil kira. Naik cukai semua akan naik termasuklah sewa rumah dan sebagainya. Harapan Mahkota supaya perkara ini dibincang secara tuntas dan dipertimbangkan sebaik mungkin dalam keadaan win-win situation. Sehubungan dengan itu, Mahkota yakin Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Johor amat memahami. Bukan niat Mahkota untuk menghalang kenaikan tersebut tetapi sebolehnya PBT kaji semula dan DUN Mahkota ingin mencadangkan supaya kenaikan cukai itu janganlah melebihi 10% agar tidak ada rakyat yang rasa terbeban dalam Belanjawan 2024.

Yang dibentangkan pada hari Khamis, jelas kita dapat melihat penambahan kedudukan ekonomi negeri amat memberangsangkan dengan lebihan RM4.21 juta. Kerajaan buat pertama kali mengumumkan bonus untuk 2 bulan. Oleh itu, tentunya kewangan negeri mampu membantu dan menampung berkaitan pengurangan cukai tersebut terbabit. Dalam kesempatan ini, Mahkota ingin merakamkan setinggi penghargaan dan syabas terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor lantaran belanjawan kali ini menampilkan banyak perancangan, perindahan sekolah termasuk bilik guru dan keperluan lain. Sehubungan itu, Mahkota ingin mencadangkan supaya kediaman dan bangunan-bangunan anak yatim tidak ditinggalkan dan mendapat perhatian. Harapan Mahkota supaya semua pertubuhan anak-anak yatim di negeri ini diberikan sumbangan secara one-off. Bagi langkah-langkah langsung untuk mereka memperbaiki memperindahkan dan menceriakan kediaman mereka agar kehidupan yang lebih selesa dengan suasana nyaman dan harmoni dapat dirasai oleh anak-anak yatim ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ruang yang ada dengan peluang yang terbuka Mahkota ingin mengetengahkan beberapa perkara yang masih menjadi isu melingkari kehidupan masyarakat khususnya di dalam bandar Kluang. Sebut nama tempatnya pasti tidak asing. Malah sebuah bandar yang berdaya maju dan pesat membangun namun malangnya hal berkaitan banjir kilat kawasan sekitarnya masih terus berlaku. Tentunya ia bukanlah sesuatu yang tiba-tiba kerana semua pasti bersebab maka sewajarnya juga yang bertakuk ditebang, yang bergaris dipahat; adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung. Merintangi bandar Kluang ada Sungai Mengkibol. Juga beberapa sungai lain seperti Sungai Melantai, Semerloh dan Paloh. Malangnya sungai-sungai ini tidak dapat menampung air apabila hujan lebat dan berterusan dan menyebabkan banjir kilat berlaku. Masalah sungai-sungai kecil, sempit, cetek dan perlukan penyelenggaraan segera perlu diatasi kerana natijahnya memberi kesan kepada rakyat. Apa yang pasti keadaan ini memberikan kebimbangan dan kesan kepada penduduk lantaran menjejaskan kualiti dan produktiviti seharian mereka. Apabila hujan lebat dan berterusan, air sungai naik akibat cetek, sempit dan kecil. Air sungai melimpah maka berlaku banjir membimbangkan penduduk sekitar. Ada kawasan perumahan, ada para peniaga yang terjejas, maka sewajarnya tindakan untuk jangka panjang perlu dilaksanakan agar masyarakat Kluang dapat hidup dengan sejahtera. Di sini Mahkota mohon kerajaan negeri mempertimbangkan cadangkan intervensi pelupusan banjir di DUN Mahkota.

Di bawah teras kelima, Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar. Strategi 4 : Menambah baik sistem saliran dan pelupusan banjir Johor. Inisiatif 1, menaik taraf sistem saliran. Adalah seperti berikut:

Pertama, pemasangan HDPE flat gate di kawasan saliran, perparitan yang sesuai bagi mengelakkan banjir terhadap kawasan yang kerap terlibat dari segi fungsi flat gate ini sebagai pintu air dan medium aliran automatik dari segi struktur pembuangan air sungai muara dan laut. Selain itu, digunakan juga untuk mencegah aliran balik pada saat terjadi

banjir dari sungai, HDPE Flat gate ianya sangat efektif dan memudahkan penduduk bersiap siaga untuk mengatasi musibah banjir yang akan berlaku. Tak banyak Yang Amat Berhormat, lebih kurang tak sampai RM1.5 juta sahaja. Selain daripada itu, menaikkan taraf sistem saliran dengan mengorek, mendalamkan dan membesarkan sungai-sungai kecil. Jangan kita korek sungai, korek pasir, pasir taruk kat sebelah, besok hujan turun balik pasir, lepas tu buat balik, jadi tak ada kerja lain, duit habis tak tentu arah.

Semoga Sungai Mengkibol serta sungai kecil-kecil, sungai hendaklah dikorek, didalamkan dari hulu hingga ke hilir. Sungai Mengkibol serta Sungai Sembrong Kecil juga perlu dibesarkan supaya sistem saliran dalam keadaan baik. Mahkota terima aduan daripada rakyat, daripada orang kampung yang juga mangsa banjir bahawa sungai mereka dikorek 12 tahun yang lalu, dah 12 tahun, 13 tahun tak korek. Selepas dikorek 12 tahun yang lalu, banjir dah tak ada dan selepas dikorek banjir tidak berlaku, bila lama tak dikorek, banjir datang kembali. Jabatan berkenaan supaya laksanakan kerja-kerja seperti mendalamkan sungai dalam masa 5 tahun sekali.

Yang Ketiga, membina tembok penahanan tebing sungai perlu diperbanyakkan kerana terdapat banyak tebing yang runtuh akibat banjir besar yang berlaku. Kadang-kadang diberi peruntukan, tebing dah buat tapi tak tahu engineer ke, technician yang salah, tebing buat ini pun dilanggar oleh air, tak tahu di mana kepakaran mereka selama hari ini?

Yang Keempat, membina kolam takungan banjir di kawasan hotspot bagi mengelakkan banjir berlaku dengan cepat. Cadangan ini bukan sahaja-sahaja, pertimbangkanlah jika boleh, dikongsi bajet dalam Teras 5, Strategi 4, Inisiatif 1 dalam Belanjawan Johor 2024. Maknanya, duit ini ada tapi jangan pergi tempat lain, datang ke Mahkota.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan banjir juga, Mahkota berterima kasih dan amat menghargai penglibatan semua pihak dalam menguruskan bantuan kepada rakyat yang terjejas. Namun demikian, Mahkota mengharapkan agar ada penambahan baik pengurusan di pusat pemindahan sementara agar mereka yang terjejas dapat berada dalam suasana yang tenteram dan sejahtera. Berkaitan agihan makanan misalnya, Mahkota mencadangkan cara pajakan ini boleh diteruskan tetapi hendaklah dihadkan 100 orang bagi setiap pembekal atau pemajak bagi mengelakkan makanan sampai lewat dan memastikan kualiti yang terbaik.

Mahkota mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu secara sukarelawan kepada mangsa banjir sama ada yang tinggal di PPS, menumpang di rumah keluarga atau rakan taulan. Mahkota mengharapkan supaya cara pengendalian mangsa banjir ini diteruskan. Pemberian bantuan pada mangsa banjir mesti diteruskan walaupun mangsa banjir tidak duduk di PPS. (Dewan bertepuk). Atas alasan tertentu tapi yang paling perlu, bantuan mesti disalurkan kepada semua kawasan rumah yang menghadapi banjir. Setiap mangsa mesti disalurkan bantuan dan pertolongan bagi meringankan beban mereka tatkala ditimpa musibah. Tak kiralah tinggal di mana, yang penting rumahnya dah tenggelam oleh air. Daun selasih bunga kantan, terima kasih seluas lautan kepada semua petugas-petugas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lagi yang Mahkota ingin bawa adalah berkenaan Terminal Bas Kluang. Cantik tersergam indah di bandar Kluang yang kewujudannya ibarat terhegeh-hegeh bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tak mahu. Ini kerana kurangnya bas beroperasi di kawasan terbabit yang mengakibatkan tiada pengunjung di sini. Maka, Mahkota berharap agar yang sakit dirawat, yang rosak dibaiki, yang hilang diganti, yang ada terus dihargai dengan mencadangkan agar Terminal Bas Kluang diaktifkan menjadi pusat transformasi bandar. Terminal ini perlukan wajah baharu melalui penyelenggaraan, pemuliharaan dan naik taraf yang sewajarnya agar setanding dengan suasana moden di kawasan terbabit apatah lagi ianya adalah platform atau kawasan

perantaraan bagi penduduk atau pengunjung keluar masuk ke daerah ini. Sewajarnya juga Terminal Bas Kluang ini menjadi hab pengangkutan pelbagai mod, iaitu merangkumi perkhidmatan bas henti-henti, bas ekspres, teksi, e-Hailing dan sebagainya, di samping pelbagai kemudahan perkhidmatan dan perusahaan yang beroperasi di dalamnya. Jika ini menjadi realiti, maka tidak mustahil bahawa kawasan tersebut akan menyumbangkan kepada kerancakan sosial ekonomi setempat yang mampu memberi pulangan bukan hanya kepada rakyat tetapi juga negeri sekitar secara amnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota juga menyahut baik dan menyokong usaha berkaitan Teras Keenam iaitu golongan muda. Ini adalah inisiatif langsung kepada golongan belia yang menjadi pelapis kepimpinan masa hadapan iaitu memiliki bukan hanya taraf intelek yang bijak tetapi juga cergas dalam fizikalnya. Justeru, Mahkota mencadangkan agar gelanggang terbuka untuk outdoor game diperbanyakkan bagi membantu golongan belia secara terus selain dapat memberi kemudahan kepada rakyat secara tidak langsung, ia akan mewujudkan budaya generasi muda yang aktif dalam aktiviti sukan serta..

Speaker

Yang Berhormat, tinggal 10 minit.

10 minit, 10 minit lagi. Saya dah kenal Yang Berhormat Speaker lama, daripada mula-mula balik daripada oversea sampai...

Speaker

Tak ada pujuk-pujuk Yang Berhormat.

Oh tak ada ya? Oh hati dah tutuplah tu.

Tidak langsung ia akan mewujudkan budaya generasi muda yang aktif dan aktiviti sukan serta riadah dan dapat juga dijadikan tempat bertukar idea dan pandangan anak muda semasa berkumpul. Mahkota ingin menyuarakan Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ini kita dah minta supaya outdoor game. Sekarang ini yang Mahkota nak beralih ke satu lagi jawatan lantikan. Mahkota ingin menyuarakan jawatan lantikan yang membabitkan kepentingan untuk warga Bangsa Johor. Pandangan akar umbi dan masyarakat di bawah haruslah diambil kira dengan Wakil Rakyat menjadi jambatan perhubungan, mata dan telinga serta menyampaikan hasrat hati khalayak ramai yang tentunya dambakan pembelaan dari kepimpinan negeri. Dalam hal ini adalah wajarnya sekiranya Wakil Rakyat turut terlibat dalam pemilihan, dibawa berbincang bagi menamakan mereka yang layak menduduki sesuatu jawatan. Ini kerana apa yang disuarakan oleh Wakil Rakyat sebenarnya adalah suara dari masyarakat, warga Bangsa Johor sendiri. Untuk mengimbangi khidmat bakti dan pembelaan inilah, maka Wakil Rakyat perlu terlibat memilih atau menamakan mereka yang layak dalam urusan jawatan lantikan politik supaya perjalanan pentadbiran dan kemasyarakatan dapat berjalan di antara DUN, masyarakat pimpinan setempat. Ingat, kami menang, kemenangan inilah penentu penubuhan kerajaan hari ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Wakil Rakyat mempunyai amanah dan tanggungjawab besar, malah kitalah jambatan antara kerajaan dan rakyat. Tugas utama adalah berkhidmat untuk rakyat dan kerana itulah kedudukan sebagai Wakil Rakyat tergalas dengan amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu YB adalah orang yang berkhidmat bukan Yang Berhormat. Wakil Rakyat mempunyai peranan kepada rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan malah sedaya mungkin semua permasalahan akan disuarakan untuk jalan penyerahan serta penyelesaian yang berkesan. Di sana padi di sini padi, di hujung hikayat tamat riwayat, di sana budi di sini budi, barulah sempurna jadi Wakil Rakyat.

Semuanya dilaksana atas gerak kerja dan pelaksanaan tanpa henti oleh rakyat. Maka, Mahkota memohon agar pertimbangan elaun, gaji, peruntuk Wakil Rakyat, peruntukan alat

komunikasi dinilai, dilihat dan jika boleh ditimbang semula agar pembaikan dapat dilaksanakan. Paling senang tahun depan, peralatan komunikasi kita yang ada hari ini dah lama, gantikan yang baharu dengan peruntukan baharu. Berkaitan elaun-elaun ini adalah berasaskan kepada wajaran dan perubahan suasana hari ini kerana ganjaran kepada Ahli Dewan Negeri mestilah kompetitif dan sesuai dengan tanggungjawab agar keterampilan dan kewibawaan dalam melaksanakan amanah tidak terbatas. Wakil Rakyat ini melaksanakan khidmat awamnya bekerja setiap masa. Maka, kenaikan atau imbuhan ini akan mampu melonjakkan lagi pencapaian sekali gus memberi manfaat kepada kesejahteraan Bangsa Johor. Apa yang pasti dari rakyat untuk rakyat, kerana rakyat dan mesti sentiasa pro rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ini saya mohon Ahli Yang Berhormat dengar dengan teliti. Ke hulu ke hilir dipanggil YB, laksana tanggungjawab penuh dedikasi, ikhlaskan hati bersabarlah YB, bulatkan tekad jayakan aspirasi. Ketua kampung sudah, Tok Batin pun sudah, Yang Berhormat bekerja tidak henti-henti, nak cakap susah tak cakap pun susah, Dato’ Menteri Besar tambahkanlah elaun kami. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, dulu semasa jadi ADUN Penawar boleh dianggap seperti bomoh, duit banyak lebih kerana pengundi 20k tapi sekarang DUN Mahkota tinggi darjat, rupa-rupa dalam tinggi darjat duit sentiasa kurang. Pengundi 70,000 tidak cukup peruntukan yang dapat. Macam orang meniaga, masuk angin keluar asap, minta tambah macam malu, bak kata orang nak cakap takut, tak cakap tak cukup.

Speaker

Bukan gaji dah naik ke Yang Berhormat? Bukan gaji dah naik ke?

Belum umum. Wah macam mana ada perbincangan lain ke Datuk Speaker dengan Menteri besar?

Perasaan malu ada juga, nose not sharp cheek push-push, jangan cuma bercakap, belanjawan kita ambush. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, umpama Sireh menjalar dulu, kemudian melilit barulah memanjat puncak junjung. Demikianlah khidmatnya perancangan, penyusunan dan gerak kerja dalam memastikan Bangsa Johor mendapat kesejahteraan. Maka kini adalah menjadi tugas kita dan semua jentera kerajaan untuk sama-sama menyokong dengan memperjelaskan dan memberikan penerangan mengenai inti pati Belanjawan 2024. Kepada rakyat, belanjawan ini asas kekuatan ekonomi negeri, keutuhan, kestabilan politik dan keupayaan kita dalam melaksanakan gerak kerja berterusan. Mahkota simpulkan belanjawan yang di bentang oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar adalah belanjawan yang berhubung dan penuh cita rasa masa depan. Belanjawan yang baik demi rakyat dibentangkan dengan hemah, tertib dan terancang. Hari ini kita berbahas kerana kita ada cita-cita. Cita-cita kita hari ini untuk masa depan bangsa dan anak cucu kita. Cita-cita kita hari ini hadir dengan iltizam, semangat dan usaha bersama.

Sebagai akhir, ingin saya nukilankan beberapa ingatan Buya Hamka untuk renungan bersama. Tegakkan cita-cita sebelum berusaha, orang berakal hidup untuk masyarakatnya bukan buat dirinya sendiri. Mahkota sekali lagi ingin menzahirkan penghargaan syabas dan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, kepada barisan EXCO-EXCO dan penjawat-penjawat awam di atas pembentangan bajet yang hebat citra terindah bagi Bangsa Johor. Mahkota mendoakan usaha ini dirahmati, diberkati dan dipermudahkan urusan oleh Allah SWT. Semoga segala perancangan dan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri berjalan lancar kerana ini adalah manfaat terbaik kepada Bangsa Johor dan seiring dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri yang maju menjelang 2030. Ianya menuntut pelaksanaan dan kerjasama sepasukan dari kita semua dengan cita-cita dan iltizam yang satu iaitu merealisasikan Maju Johor 2030, insya-Allah.

Akhir kata, ada masa lagi? Ada lagi 2 minit. Akhir kata, belanjawan yang baik demi rakyat ini di bentang dengan cadangan baik tapi ingatlah jika tidak dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas, telus dan amanah, maka yang tinggal hanyalah sekadar tulisan di atas kertas tapi peruntukan habis entah ke mana, Nauzubillah. Harapan Mahkota supaya setiap idea yang dicetuskan akan dapat dilaksanakan dengan bijaksana. Sesungguhnya permuafakatan itu membawa berkat. Ayuh kita jayakan Belanjawan 2024, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”. Wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ada lagi dua minit. Maka dengan ini, Mahkota mencadang Belanjawan 2024 Negeri Johor Darul Takzim untuk disokong oleh Ahli Dewan. Sekian, kepada Allah kita berserah. Wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat Mahkota, menepati masa dan cakap pun terang-terang. Sebelum saya jemput Ketua Pengimbang, terlebih dahulu saya mengalu-alukan kehadiran pemerhati iaitu 55 orang daripada Mahasiswa YPJ, 10 orang daripada ADUN Mahkota, 7 orang daripada kawasan ADUN Johor Lama, 3 orang daripada ADUN Maharani dan 13 orang daripada ADUN Kawasan Larkin. Tahniah. (Dewan bertepuk).

Seterusnya saya jemput Yang Berhormat daripada Stulang, 45 minit.

Tuan Chen Kang EngDAP · PHStulang

Terima kasih Datuk Speaker atas peluang yang diberikan. Salam sejahtera. Tahniah juga diucapkan kepada Mahkota atas ucapan yang begitu bersemangat. Dan, sebelum memberikan ucapan, patik ingin merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November. Patik juga merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas pemilihan Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula 31 Januari 2024. Saya dan kami mendoakan agar Tuanku dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menaungi sekalian rakyat. Semoga institusi Diraja terus menjadi tonggak kestabilan dan perpaduan untuk negara.

Patik juga mendoakan Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Raja Johor. Semoga Tunku dapat menjalankan tugas dengan baik, adil dan saksama.

Tahniah juga diucapkan kepada Dato’ Menteri Besar atas kurniaan Darjah SMIJ oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang membawa gelaran Dato’. Tahniah diucapkan. Tahniah juga kepada Dato’ Menteri Besar kerana telah membentangkan Belanjawan 2024 surplus iaitu belanja lebihan yang berpaksikan 6 Teras dengan dukungan 29 Strategi dan didukung oleh 99 Inisiatif. Sebelum pembentangan belanjawan, saya dan semua Wakil Rakyat dalam Blok Pakatan Harapan telah pun berjumpa dengan YAB Dato’ MB untuk sama-sama membincangkan hala tuju belanjawan, pembangunan Johor secara holistik dan keperluan setiap ADUN di kawasan masing-masing. EXCO-EXCO yang bersama juga turut bersama dan cuba menyelitkan atau menggerakkan perkara-perkara yang boleh dibantu. Terima kasih. Terima kasih atas semangat inklusif yang ditunjukkan dan kami amat bersyukur kerana melibatkan kami dalam perbincangan belanjawan sebelum pembentangan. Justeru itu, kami sebagai Barisan Pengimbang PH tidak ada masalah untuk menyokong rundingan yang dibawa.

Walau bagaimanapun, saya berharap YAB Dato’ MB dan barisan EXCO boleh memasukkan perkara-perkara penting berkaitan yang dibawa oleh ADUN-ADUN kami dalam perbahasan

nanti. Besar harapan saya adalah semua inisiatif boleh dilaksanakan dengan sempurna agar rakyat boleh menikmati hasil rancangan pembangunan kerajaan.

Yang kedua, kami berharap YAB Dato’ MB dan barisan EXCO boleh sentiasa menerima pandangan ADUN-ADUN kami pada masa depan.

Dan yang ketiga, kami berharap YAB MB dan barisan EXCO bersama dengan para pegawai pelaksana kerajaan dan agensi yang berkaitan boleh sentiasa memberikan bantuan nasihat kepada kami dalam perkara-perkara yang diutarakan demi kebaikan dan pembangunan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kami menyambut baik perlaksanaan Zon Kewangan Ekonomi Khas Johor – Singapura yang mensasarkan pelaburan besar ke Johor terutamanya di Iskandar Malaysia. Ini merupakan satu lagi bukti kejayaan kerjasama akrab di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor. Saya pasti ia mampu menggalas kesempatan aliran orang yang tinggi selepas projek RTS beroperasi pada awal 2027 dengan anggaran 10,000 penumpang setiap jam. Ditambah pula dengan pembangunan IIBD (Ibrahim International Business District) yang merangkumi pusat bandar Johor Bahru, Coronation Square serta Skybridge yang menghubungkan bangunan-bangunan di sekitarnya sehingga ke JB Central dan CIQ. Dalam konteks yang lebih luas, rangkaian landasan berkembar JB – Gemas dan lebuh raya 6 laluan Sedenak – Simpang Renggam akan mengukuhkan lagi jaringan pengangkutan Johor. Infrastruktur tersebut juga didukung oleh kemudahan lapangan terbang Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang sedang dinaiktaraf untuk memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat.

Kemudian, pelonggaran syarat-syarat yang sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) serta mewujudkan agensi tunggal sempadan negara atau single boarder agency pasti memangkinkan lagi kerancakan ekonomi Johor yang bersempadan dengan Singapura ditambah lagi dengan kedudukan strategik Johor dengan memiliki persisiran pantai barat dan pantai timur. Ditambahkan lagi dengan usaha sama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam melancarkan aliran trafik sempadan antarabangsa Malaysia CIQ, BSI dan CIQ, KSAB.

Justeru itu, boleh dilihat pembangunan dan dasar hasil kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tersebut memberi keyakinan dan harapan besar kepada seluruh rakyat Johor. Untuk para peniaga, usahawan, pekilang, petani, pelabur, firma perunding dan sebagainya mereka mensasarkan turn over yang melipat ganda. Ini merupakan hasil perbincangan saya di peringkat akar umbi dengan mereka, pendapat mereka. Mereka mensasarkan turn over yang melipat ganda kerana pembangunan di Johor. Untuk rakyat jelata di Johor mereka mensasarkan peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji yang lebih lumayan. Jadi besar harapan kita semua adalah semua projek tersebut yang memesatkan pelabuhan luaran dan dalaman boleh disiapkan dalam masa yang dijadualkan kerana semua projek tersebut merupakan peluang keemasan untuk Johor. Semua projek boleh dilaksanakan dengan secepat mungkin atau mengikut jadual. Rakyat Malaysia mengharapkan tawaran gaji yang lebih tinggi di Zon Kewangan Ekonomi Khas Johor – Singapura. Saya berharap kerajaan Malaysia – Singapura boleh merealisasikan matlamat ini untuk kebaikan kedua-dua negara. Jadi, dengan usaha setiap pihak, pelaksana, kerajaan, ADUN-ADUN saya mengharapkan projek besar yang lebih banyak lagi pada masa depan untuk keyakinan pelabur dan memacu ekonomi Johor, Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rancangan menetapkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor dalam pembentangan belanjawan dan mensasarkan pelawat sebanyak 12 juta merupakan langkah yang bijak. Kami menyambut baik semua inisiatif naik taraf pusat-pusat pelancongan. Untuk mempertingkatkan mutu dan kerangka jaringan pelancongan, Stulang mencadangkan beberapa inisiatif seperti berikut. Ada tiga inisiatif.

Yang pertama, dengan kerjasama PBT, semua pusat penjaja terutamanya di bandar-bandar utama seperti Johor Bahru patut dinaik taraf. Ini kerana pusat penjaja makanan yang menawarkan makanan tempatan sedap bertaraf antarabangsa merupakan pusat pelancongan wajib bagi para pelancong. Bagi kita juga sama, kalau kita sebagai pelancong pun sama, kita pergi ke luar negara kita mesti mengunjungi pusat-pusat penjaja mereka. Jadi sebenarnya pusat penjaja, pasar dan sebagainya adalah tempat pelancongan yang semula jadi. Mereka wajib kunjungi. Justeru itu, wajah keselesaan dan kebersihan yang sejajar dengan status bandar raya antarabangsa patut ditonjolkan bagi menarik lebih ramai pelancong serta memberikan imej yang positif kepada para pengunjung. Buat masa ini banyak premis penjaja telah usang, tidak bersih dan tidak memenuhi standard pusat pelancongan sama ada untuk orang luar negara atau pun orang tempatan. Justeru itu saya menyarankan agar PBT dan KPKT memperbanyakkan usaha naik taraf pusat penjaja.

Yang kedua, kelancaran trafik. Kelancaran trafik di bandar-bandar utama adalah penting. Bagi memastikan para pelancong tidak terkandas dalam trafik dan mengakibatkan mereka terlepas itinerary rancangan serta masa kunjungan belanja mereka dipendekkan. Kalau traffic jam, tentulah masa kunjungan, masa belanja dikurangkan. Jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku, justeru itu saya berharap kepada PAJ. MyBus di setiap daerah boleh membuat kajian mengkaji agar jaringan tempatan kunjungan pelancong dipertingkatkan atau tidak ditinggalkan ataupun taskforce-taskforce untuk menyelesaikan masalah kesesakan di bandar-bandar.

Yang ketiga, yang ini saya rasa kita perlu buat. Memperkenalkan mode pelancongan caravan. Keadaan ini telah pun lama ada di negara lain seperti Australia, New Zealand dan negara-negara Eropah. Jadi untuk tujuan ini tempat parking caravan dan keselamatan caravan adalah penting. Justeru itu diharapkan PBT negeri dan KPKT pusat boleh bersama-sama merangka garis panduan untuk menawarkan kaedah pelancongan baru ini di Johor. Untuk saling compliment dengan kekuatan pusat-pusat pelancongan yang ada pada kita di Johor. Jadi industri pelancongan merupakan sektor yang mampu menjana ekonomi besar kepada Johor sekiranya para pelawat berpuas hati dengan pengalaman Tahun Melawat Johor 2026, maka sebagai kesinambungan mereka akan melawat lagi ke Johor pada tahun berikutnya dan seterusnya meningkatkan kadar bermalam para pelancong di Johor. Kerana sekarang kadar bermalam para pelancong di Johor tidak sampai dua hari. Jadi kalau kita ada persaingan kawasan pelancongan tersebut dengan inisiatif-inisiatif yang ada, saya rasa kadar bermalam mereka boleh ditingkatkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Stulang juga ingin berkongsi pendapat berkenaan dengan beberapa isu yang berkaitan dengan perumahan dan hartanah. Yang pertama, PPR, rumah PPR jenis studio. Stulang mencadangkan agar semua pihak yang ada kepentingan atau peranan perumahan Johor agar mempertimbangkan pembinaan Rumah Sewa Kerajaan Jenis Studio. Ini bagi membolehkan mereka yang sebatang kara atau tidak berkeluarga boleh menyewa rumah PPR kerajaan. Buat masa ini, hanya mereka yang berkeluarga layak untuk memohon. Pejabat saya sentiasa dikunjungi oleh mereka yang ingin memohon sewa rumah PPR tetapi mereka tidak berkeluarga dan hidup bersendirian maka mereka tidak layak. Mereka juga terkongkong dengan beban ekonomi yang ketat dan ramai pemilik rumah juga tidak rela untuk menyewa bilik kepada mereka kerana mereka nampak miskin dan tidak mampu bayar sewa. Jadi, ramai yang tidak rela menyewa bilik kepada mereka. Jadi, ada beberapa orang tua, mereka datang dan mereka yang berseorang, sebatang kara mereka tanya saya, “adakah saya yang sudah tua dan kesian ini oleh kerana saya sebatang kara, hidup bersendirian, saya tak payah duduk di rumah”. Saya tak tahu dan saya pun tak boleh jawab. Jadi, saya rasa rumah PPR jenis studio adalah perlu bagi menampung keperluan mereka yang tidak berkeluarga. Saya berharap pihak perumahan boleh melihat inisiatif dan kemungkinan.

Yang kedua, Skim Rumah Sewa Beli. Saya berpendapat Skim Perumahan Sewa Beli mampu membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah. Saya mencadangkan agar kerajaan Johor memperbanyakkan Skim Rumah Sewa Beli agar mereka yang hanya mampu menyewa sahaja akhirnya boleh juga memiliki rumah setelah beberapa tahun membayar sewa rumah.

Yang ketiga, Hartanah Over Hang. Pada masa ini hartanah yang tidak terjual over hang masih banyak. Saya rasa YB EXCO dan YAB MB pun setuju. Ini termasuk unit servis apartment yang melebihi RM500,000.00 seunit serta hartanah mewah yang melebihi RM1 juta. Justeru itu, saya mencadangkan agar kerajaan Johor menggalakkan para pemaju perumahan untuk melaksanakan inisiatif berikut : Pemaju boleh bekerjasama dengan pihak swasta lain agar mempakejkan penjualan rumah mereka dengan tawaran perkhidmatan yang lain dengan harga yang lebih rendah. Dalam hal ini, kerajaan Johor memainkan peranan penting untuk menggalakkan lebih ramai pemain swasta untuk mengambil bahagian. Contohnyalah, apabila pembeli rumah membeli rumah dengan pemaju mereka akan ditawarkan ataupun diberikan pakej diskaun di pusat membeli belah, F&B ke, hotel, pusat servis kereta, keahlian kelab dan sebagainya. Ini sebagai, in a way, maknanya memberikan lebih banyak manfaat tambahan kepada pembeli rumah untuk menjadikan rumah tersebut boleh dijual dengan lebih cepat dan tidak over hang. Sekiranya, hartanah tersebut boleh dijual sama ada kepada orang tempatan, orang asing atau pelabur luar memakai, memberikan impak ekonomi positif kepada Johor dan ia turut merancakkan perkembangan sektor ekonomi lain. Lebih-lebih lagi dalam iklim pembangunan rancak Johor yang ada sekarang. Peluang penjualan hartanah over hang mesti dimanfaatkan. Dengan kata lain, yang memberikan kebaikan bersama kepada pemaju, pembeli dan para peniaga sektor lain yang mengambil bahagian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan kelestarian alam sekitar, Dato’ MB juga bervisi agar mencapai persekitaran yang rendah karbon, mampan dan berdaya huni dan saya rasa, saya yakin setiap Ahli Dewan ini setuju dengan hala tuju tersebut. Bahkan, kita telah pun menubuhkan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana. Lantaran itu, berkenaan dengan Inisiatif Transisi Hijau, Green Transition. Saya mengesyorkan yang berikut: berkenaan dengan usaha dengan penambahan EV Charger. Saya mencadangkan agar PBT mengkaji kebolehlaksanaan agar membolehkan premis perniagaan iaitu kedai-kedai berserta dengan tempat parkir di depan premis tersebut agar boleh memasang EV Charger. Saya rasa ini perlu perbincangan dan dilihat sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

Yang kedua, saya rasa ini penting dan boleh. PBT dan TNB mengkaji kebolehlaksanaan penggunaan tiang lampu sedia ada yang bersesuaian untuk dijadikan tempat mengecas kenderaan EV. Ini telah pun dilaksanakan di United Kingdom. Cadangan inisiatif tersebut adalah sejajar dengan cadangan, sejajar dengan rancangan kerajaan untuk menambah bilangan EV Charger di seluruh negara bagi menggalakkan penggunaan EV di Malaysia.

Yang kedua, berkenaan Green Transition, adalah berkenaan dengan penggunaan tenaga solar di mana tadi Yang Berhormat Mahkota pun ada menyentuh tentang lampu solar. Jadi, saya menyarankan agar kita menggunakan tenaga solar untuk konsumsi dalaman bangunan kerajaan. Contohnya, saya mengesyorkan agar tenaga solar digunakan untuk bangunan CIQ, BSI, JB Central, CIQ KSAB kerana bil elektrik mereka sebulan beberapa juta. Jadi penggunaan solar yang merupakan konsumsi dalaman, inner consumption sahaja. Ini sudah cukup untuk menjimatkan kos dan bil elektrik.

Berkaitan dengan kenaikan cukai taksiran, Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya mengesyorkan agar mekanisme kenaikan cukai taksiran untuk PBT, MBJB, MBIP, MBPG, MPPK dan MPBP diperhalusi supaya perbincangan lanjut boleh dijalankan agar kenaikan tidak terlalu membebankan rakyat. Saya mencadangkan agar kadar cukai setiap hektar

boleh dilaraskan ataupun diturunkan lagi dengan lebih banyak agar kenaikan penilaian harta yang tinggi tidak akan mengakibatkan kenaikan cukai taksiran yang terlalu tinggi atau mendadak.

Yang kedua, adalah sebarang kenaikan cukai taksiran dikenakan untuk setiap hartanah tidak boleh melebihi 15%. Saya yakin rakyat boleh menerima kenaikan yang dikenakan sekiranya kedua-dua pendekatan tersebut diambil.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa kepercayaan di antara kita sama ada blok kerajaan dan blok pengimbang BN dan PH, perlu dipupuk dengan lebih mendalam lagi dan diteruskan lagi. Kami di pihak pengimbang, semua ADUN-ADUN, kami tidak pernah membocorkan apa-apa perbincangan yang rahsia kepada orang luar. Kami ikhlas dalam perbincangan, kami ikhlas dalam pembangunan dan tidak pernah pun meletakkan kelemahan atau kekurangan kepada orang luar untuk tujuan mereka menyerang kerajaan, tidak pernah pun. Dan dalam mesyuarat JKTD dan Sidang DUN pula saya rasa setelah saban tahun lamanya boleh dilihat dan terbukti setiap ADUN kami rajin dan ikhlas mengutarakan isu rakyat serta membentangkan cadangan-cadangan yang bernas.

Dalam kedinamikan landskap politik sekarang, saya rasa selain keikhlasan pendekatan kedua-dua pihak di antara kita perlu lebih kreatif, konstruktif di mana ia akan membawa kepada kemuafakatan dan kestabilan. Kami sebagai blok PH Pengimbang Johor menyokong Kerajaan Perpaduan di Peringkat Pusat dan kami mempunyai tanggungjawab juga untuk mempertahankan Kerajaan Madani Pusat. Dan saya rasa pihak sebelah sana, pihak blok BN juga mempunyai tanggungjawab sama-sama untuk mempertahankan Kerajaan Madani Pusat. Justeru itu, kami PH di Johor tidak boleh dilihat sebagai tidak mempunyai hubungan yang baik atau mesra dengan kerajaan BN Johor dan sebaliknya.

Jadi, Yang Berhormat Datuk Speaker, masa banyak lagi. Saya hanya bersedia untuk...

Speaker

Ada 20 minit lagi.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Saya sebenarnya bersedia untuk 20 minit sahaja. Tapi tak apa. Secara kesimpulannya, perbahasan saya menyentuh tentang memperhalusi Kenaikan Cukai Taksiran Kelestarian Alam Sekitar, Perumahan, Pelancongan, Zon Khas Johor-Singapura serta Projek-Projek Persekutuan dan Negeri. Saya juga menaruh keyakinan penuh terhadap Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang ada serta menekankan kepentingan meneruskan hubungan-hubungan baik antara BN dan PH di Johor.

Marilah kita Bersama-masa majukan Johor agar Johor berperanan sebagai pemacu ekonomi Malaysia. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi membolehkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan. Masa perbahasan yang diberikan untuk membahas berikutnya ialah 20 minit sahaja untuk setiap pembahas. Oleh itu, saya jemput Yang Berhormat Kukup, silakan.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor. Dari Kukup ke Machap, singgah di Rengit beli beriani, Belanjawan Johor memang mantap, semoga rakyat dapat menikmati. (Dewan bertepuk).

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Barisan EXCO di atas kerja kuat selama ini untuk memastikan kelancaran pentadbiran negeri Johor yang sentiasa turun

padang dan cakna mengenai masalah rakyat. Tahniah juga sekali lagi buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan 2024 yang cukup kondusif dan menyeluruh. Kredit juga harus diberikan kepada kerajaan negeri kerana berjaya menghasilkan Belanjawan 2024 yang mempunyai lebihan dan surplus Bajet sebanyak RM4.21 juta. Dengan bertemakan belanjawan kali ini, Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat, berpaksikan 29 Strategi dan 99 Inisiatif yang telah digariskan melalui 6 Teras Maju Johor.

Belanjawan ini berfokus kepada rakyat. Banyak inisiatif diberikan kepada rakyat selari dengan barisan dengan Manifesto Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Negeri pada tahun 2022 tempoh yang lalu yang menggariskan 5 Ikhtiar Barisan Nasional. Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional yang dipilih oleh rakyat di dalam pilihan raya yang lalu begitu komited dan juga menunaikan segala manifesto yang telah kita janjikan menerusi 5 Ikhtiar Kerajaan Barisan Nasional. Belanjawan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat berbilang kaum, latar belakang pendidikan mahupun pendapatan termasuk jugalah penjawat awam sehinggalah rakyat yang kurang bernasib baik dan yang bakal menikmati Belanjawan 2024 sekiranya diurus dengan baik dan teratur. Maka, bukan sahaja masyarakat yang dapat kesan dari belanjawan ini tetapi flora, fauna serta alam sekitar turut terbela dengan belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Bagi memastikan Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, kita mestilah bersatu hati bekerja dalam satu pasukan tidak kira daripada pihak kerajaan mahu pun kepada pihak pengimbang yang mana sama-sama untuk mengurus dan membangunkan negeri yang kita cintai ini. Adakah dengan belanjawan yang menyeluruh ini, pihak pengimbang tidak mahu mengangkat tangan selepas ini? Walaupun dengan apa yang ada dijanjikan oleh Yang Berhormat Ketua Pengimbang begitu bersetuju tetapi ianya perlu dijelaskan apabila kita mengundi nanti. (Dewan bertepuk).

Jangan Yang Berhormat hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak menyokong belanjawan yang mana Yang Berhormat sendiri berbincang dengan Menteri Besar. Saya menyeru kerana belanjawan ini bukan sahaja untuk bahagian, untuk kawasan-kawasan kerajaan tetapi juga untuk kawasan pihak Yang Berhormat Pengimbang. Kalau pihak pengimbang tidak mahu mengangkat tangan, maka ini bererti belanjawan ini tidak boleh dilaksanakan. Harapan saya, apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Ketua Pengimbang tadi, dapatlah direalitikan, diterjemahkan dan biarlah menjadi sejarah sekali lagi di dalam Dewan yang mulia ini, seluruh Yang Berhormat mengangkat tangan. (Dewan bertepuk). Menunjukkan solidariti kita untuk membela Bangsa Johor. Boleh Yang Berhormat di belah sana? Angkatlah nanti ya, jangan sembunyi tangan kerana kita diberi tugas, amanah oleh pengundi-pengundi di kawasan kita. Kalau Yang Berhormat perlukan belanjawan ini menjadi kenyataan dan dapat dinikmati oleh ahli-ahli atau pun pengundi kawasan kita, angkat tangan. Saya ingin melihat biarlah menjadi satu sejarah, belanjawan yang baik dan mulia ini disokong oleh seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat tidak pernah membezakan kawasan sama ada kerajaan mahu pun pengimbang. Bagi beliau seluruh Bangsa Johor adalah tanggungjawab bersama Wakil Rakyat yang telah dipilih. Sebab itulah, kita ingin melihat keikhlasan daripada pihak pengimbang kerana kalau kita hari ini ikhlas, kalau kita hari ini bekerjasama, insya-Allah, untuk memastikan negeri Johor menjadi negeri maju pada tahun 2030 akan tercapai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh tentang pembangunan ekonomi, memacu industri pelancongan. Saya ingin mengulas dan menyentuh sedikit teras kedua iaitu memacu industri pelancongan di mana kita tahu, Yang Amat Berhormat telah mensasarkan pada tahun 2026 adalah waktu yang sangat tepat dan bersesuaian yang mana kita menyasarkan 12 juta pelancong untuk masuk ke negeri Johor. Saya menyokong penuh usaha ini kerana Johor mempunyai alam semula jadi yang begitu indah yang

dikurniakan oleh Allah SWT. Kita mempunyai taman negara, kita mempunyai bukit, gunung, paya bakau dan juga kawasan lembah yang mana ianya merupakan warisan bersejarah dan mampu menarik kehadiran mereka di negara kita. Kita juga mempunyai alam semula jadi yang tidak dapat di negeri-negeri yang lain. Kita juga mempunyai jolokan yang terkenal di mana Taman Negara Tanjung Piai merupakan tanah penghujung Benua Asia manakala Pulau Kukup adalah merupakan pulau paya bakau kedua terbesar di dunia, selain daripada taman-taman negara yang lain. Keindahan alam semula jadi inilah yang perlu kita pelihara dan dia menjadi aset di dalam negeri kita untuk kita gunakan sebagai produk ecotourism. Pelbagai aktiviti yang dijalankan, namun demikian untuk memastikan apa yang telah direncanakan oleh kerajaan negeri, kita harus menyediakan untuk memastikan Tahun Melawat Johor 2026 ini terlaksana. Kita harus membaiki tempat-tempat pelancongan ini, memperkasakan segala infra struktur yang ada. Selain daripada itu, kerajaan juga jangan terlepas pandang bahawa di dalam ekopelancongan ini banyak pemain-pemain industri yang harus kita bantu. Seperti pemandu pelancong, mereka harus dilengkapkan dengan ilmu dan juga bahasa untuk menyambut para pelancong.

Yang Kedua ialah pengusaha-pengusaha IKS di mana merekalah yang mengeluarkan produk-produk tempatan untuk diperkenalkan kepada para pelancong. Mereka ini perlu dibantu, mereka ini perlu diperkasakan. Tidak terlupa juga dengan pengusaha-pengusaha dengan inap desa kerana merekalah yang akan mencorakkan bagaimana dan ke arah mana industri pelancongan kita perlu dibawa. Dalam masa yang sama, kita juga perlu mempergiatkan promosi di mana kita perlu mengadakan berbagai perkara untuk dijelaskan kepada masyarakat luar. Minta bantuan daripada MOTAC, minta bantuan daripada kedutaan-kedutaan, pasar raya-pasar raya yang ada dan juga kita kena perkasakan pamplet-pamplet kita, website kita supaya ramai yang boleh mengetahui tentang pelancongan di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga menyarankan untuk memastikan sasaran kita 12 juta pelancong untuk masuk ke negeri Johor, kita juga kena lebih peka terhadap sukan-sukan yang bertaraf antarabangsa seperti ironman, triathlon, sukan ekstrem kerana inilah yang menggalakkan lebih ramai orang untuk datang melancong ke negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin melafazkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memperuntukkan RM20 juta kepada Pulau Kukup untuk menaik taraf jeti dan Jambatan Sungai Ular. Namun begitu, yang menjadi kerisauan saya ialah bilakah Pulau Kukup ini akan beroperasi sepenuhnya? Di dalam Dewan yang mulia ini, saya rasa saya telah mengemuka dua kali soalan berhubung tarikh Pulau Kukup ingin dibuka dan kedua-dua tarikh itu sehingga kini tidak dapat menyatakan bilakah operasi Pulau Kukup itu akan bermula? Tambahan pula, apabila lawatan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri datang ke Pulau Kukup menunjukkan perkara ini adalah serius dan perlu disegerakan. Harapan saya, Yang Berhormat EXCO dapatlah menyusun supaya tidaklah keseluruhan Pulau Kukup ini ditutup kerana sudah begitu lama dan kita bimbang para pelancong juga telah lupa di mana Pulau Kukup. Saya berharap dengan tambahan RM20 juta ini setidak-tidaknya kita boleh mengurus Pulau Kukup itu secara berfasa supaya ada fasa-fasa tertentu yang boleh dikunjungi oleh pelancong dan ada fasa-fasa yang perlu kita tutup untuk pengubahsuaian. Dengan bajet RM20 juta ini, mudah-mudahan Pulau Kukup akan terus dikenali di negeri Johor mahupun di luar negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh tentang keterjaminan bekalan makanan yang mana saya rasa cukup penting untuk dibincangkan bersama kerana ini adalah merupakan soal periuk nasi dan perut rakyat, kalau makan tak cukup susahlah kita. Di daerah Pontian khususnya, nanas merupakan salah satu industri tanaman terbesar di Johor. Namun sekarang ini, penghasilan nanas sudah semakin berkurang kerana disebabkan pengusaha dan juga petani yang mengusahakan nanas telah berubah arah untuk mencari produk yang lebih stabil dan menjamin masa depan mereka iaitu menanam

sawit. Namun yang demikian, walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM1 juta untuk meningkatkan produktiviti industri agro makanan dan melancarkan aktiviti eksport buah-buahan berpotensi, kita juga harus lebih meneliti dan juga menyusun apakah yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri. Ini adalah satu lagi persoalan yang mana saya sendiri kurang jelas apakah maksud buah-buah yang berpotensi? Mudah-mudahan EXCO kerajaan negeri yang berhubung dengan pertanian ini dapat menggariskan kepada kita, apa yang dimaksudkan buah yang berpotensi? Di daerah mana yang ada buah yang berpotensi ini? Sejauh mana ianya boleh diperkasakan? Kerana kalau kita tengok di R&R, kawasan rawat dan rehat sepanjang di dalam negeri Johor itu sendiri, kita boleh lihat berapa banyak buah yang di import daripada Thailand dijual kepada penduduk tempatan. Di mana buah-buahan yang dikeluarkan dari daerah-daerah kita? Sudah semakin berkurangan dan kita berharap kerajaan juga mengambil tindakan untuk mengawal keadaan ini kerana supaya membolehkan hasil tani kita sendiri dapat diletakkan dan dijual di kawasan-kawasan R&R sepanjang di dalam negeri Johor ini.

Saya juga ingin menanyakan kaedah bagaimana peruntukan RM3.1 juta ini untuk meningkatkan produktiviti industri agro makanan dan merencanakan aktiviti eksport buah-buahan berpotensi yang akan dilaksanakan supaya 195 usahawan tani ini dapat menafaat yang mana hasil pengeluarannya dapat disasar dan dapat dicapai?

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membawa isu berhubung dengan projek perumahan sakit di DUN Kukup. Di Taman Satria di mana projek sakit ini terbiar terlalu lama. Banyak alasan yang diberikan berhubung dengan urusan mahkamah dan sebagainya. Sudah puluhan tahun, kita tidak pasti mahkamah mana yang belum menyelesaikan isu sampai puluhan tahun. Adakah mahkamah akhirat nanti yang DiPertua? Ini yang kita bimbang kerana rakyat semakin terjejas, mereka terpaksa membayar bank sedangkan tidak ada rumah, ini yang kita bimbang, kalau ada perkara-perkara yang perlu kita segerakan untuk membolehkan rakyat kita menikmati perumahan ini. Saya juga ingin memohon kepada pihak kerajaan supaya perumahan RMMJ yang mampu milik di DUN Kukup, setakat ini saya tidak nampak ada disenaraikan tentang rumah mampu milik. Di Kukup juga adalah merupakan kawasan kritikal yang amat memerlukan perumahan mampu milik terutamanya generasi kedua. Ini perlu saya suarakan kerana di kawasan Kukup ini kalau kita lihat, ada ramai, ada banyak kawasan-kawasan yang masih kosong, estet-estet lama yang dah ditinggal puluhan tahun. Adakah kerajaan negeri tidak boleh mengusahakan untuk membina Rumah Mampu Milik Johor di kawasan DUN Kukup? Dan juga dalam senarai 30,000 unit rumah mampu milik yang ingin dibina sehingga 2026, saya berharap EXCO Perumahan dapat memasukkan sedikit bagi kawasan rakyat Kukup. Kerana ini amat diperlukan dan inilah janji kita di dalam Manifesto Barisan Nasional yang lalu.

Kerajaan negeri juga perlu membantu mendapatkan peruntukan yang agak lebih besar bagi hakisan pantai terutama di sepanjang Pantai Rambah di Rimba Terjun kerana keadaannya amat kritikal. Banyak pemilik-pemilik geran dah tak tahu di mana tanah mereka. Ini juga satu isu yang bakal akan timbul, mereka ada geran tetapi tak tahu di mana tanah mereka kerana tanah mereka sudah berada di tengah-tengah pantai, di tengah laut. Ini akan menimbulkan persoalan dan saya berharap terutamanya di kawasan Rimba Terjun ini perlulah disegerakan memandang kawasan hakisannya amat-amat parah dan perlu tindakan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam kawasan pelancongan ini tadi, saya juga ingin memohon supaya kerajaan negeri memasukkan pertandingan jong sebagai salah satu permainan di peringkat negeri dan juga antarabangsa kerana Pejabat Daerah Pontian yang hadir pada hari ini ke Iskandar telah juga melaksanakan 2 tahun berturut-turut pertandingan jong peringkat antarabangsa bersama juga dengan DUN Tanjung Surat.

Speaker

Yang Berhormat tinggal 2 minit aje.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menzahirkan rasa kecewa dan juga rasa pilu saya di dalam Dewan yang mulia ini, tentang apa yang berlaku daripada rakyat Palestin. Saya juga merasakan tindakan yang dibuat oleh Zionis Isreal ini amat melampaui batas, tidak ada perikemanusiaan, kita tahu isu Israel ini telah pun bermula sejak 1948, kerana keganasan yang tidak terbatas inilah saya menyeru seluruh Bangsa Johor supaya sama-sama bersolidariti untuk mengecam tindakan kejam Isreal di negara Palestin ini. Marilah kita sama-sama membantu apa juga program yang berkaitan dengan rakyat Palestin kerana ini sebagai umat Islam ianya adalah merupakan satu pegangan dan akidah kita kerana itu Masjidil Aqsa adalah merupakan salah satu masjid yang diagungkan oleh umat Islam. (Dewan bertepuk).

Oleh yang demikian, saya berharap satu resolusi perlu dibuat di dalam Dewan ini untuk mengutuk kekejaman Zionis Isreal. Dan selamatkanlah rakyat Palestin ini dan heret mereka yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan antarabangsa bagi dihukum kerana keganasan kemanusiaan. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Simpang Jeram, 20 minit.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Perpaduan, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang berteraskan 6 subjek utama, 29 strategi dan 99 inisiatif. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Pemanis dalam memberi hujah, syor dan cadangan dalam sesi pembentangan Rundingan Mengenai Penyata Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2023 lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu pemanasan global atau global warming dengan izin, bukan satu isu baru. Antara tahun 1993 sehingga 2018, pengembangan haba air membawa kepada 42% kenaikan aras laut. Kajian mengenai kenaikan paras laut di Malaysia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa purata kenaikan aras laut bagi tahun 2000 hingga 2050 adalah 0.25 meter iaitu bersamaan dengan 5 milimeter setahun. Laporan daripada Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NARIM), Ogos 2021 menyatakan kenaikan aras laut dikaitkan pada 2 faktor utama.

Yang pertamanya disebabkan oleh perubahan iklim dan pemanasan global. Hampir separuh daripada kenaikan aras laut dalam beberapa abad yang lalu disebabkan oleh peningkatan suhu laut kepada yang lebih panas. Fenomena ini menyebabkan air mengembang yang menyebabkan jasad air memerlukan lebih banyak ruang. Apabila ini berlaku ia menyebabkan aras laut meningkat.

Keduanya, kecairan dan keresapan ais dan glasiar di kutub. Glasiar dan litupan ais akan cair pada kadar yang tetap pada musim panas. Apabila tiba musim sejuk salji yang dihasilkan daripada air laut yang meruap akan mengimbangi kembali kadar kecairan.

Semenjak kebelakangan ini suhu tinggi yang berpanjangan hasil daripada pemanasan global telah menyaksikan kadar kecairan salji yang lebih cepat dan tinggi. Mengaitkan isu pemanasan global ini dengan Malaysia dijangkakan dalam tempoh 30 tahun beberapa bandar utama di Malaysia juga turut akan hilang dari peta kerana ditenggelami oleh air laut. Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) mendapati hampir semua negeri-negeri di Malaysia akan terkesan dengan peningkatan paras laut.

Pada tahun 2050 dianggarkan bahawa bandar seperti Alor Setar, Port Klang tenggelam sepenuhnya. Walaupun NARIM telah menafikan kajian oleh (Cent-GPS) tersebut di dalam sebuah kenyataan media pada 10 November 2019, menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli fenomena peningkatan air laut terus berlaku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Muar Bandar Maharani Bandar Diraja tidak dapat lari daripada fenomena ini dan dijangkakan bandar Muar turut akan ditenggelami air pada tahun 2050 dan sudah pastinya kawasan DUN Simpang Jeram akan menerima nasib yang sama. Kejadian banjir kilat disebabkan air pasang besar daripada 4 hingga 7 November yang lalu telah menyebabkan beberapa kawasan rendah sepanjang Sungai Muar dan persisiran pantai telah ditenggelami air. Kejadian-kejadian ini bukan pertama kalinya berlaku banjir kilat disebabkan peningkatan aras laut ini bukan sahaja telah merosakkan harta benda penduduk, tetapi juga dibimbangi akan menyebabkan kehilangan nyawa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan air laut ini juga akan mengancam keberhasilan pengeluaran hasil pertanian negeri. Air masin yang masuk ke dalam kawasan pertanian ke kawasan ladang dan bendang akan mengurangkan hasil tanaman dan lebih membimbangkan ianya menyebabkan tanaman itu mati. Utusan Malaysia pada 4 Julai 2023 telah melaporkan kira-kira 80 petani di Kampung Kelicap dan Sungai Suluh di Tanjung Labuh, Batu Pahat telah kerugian juta ringgit apabila tanaman yang diusahakan ditenggelami air masin hampir sepanjang tahun. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bimbang langkah kerajaan negeri untuk membantu negara meningkatkan hasil tanaman padi negeri dalam membantu meningkatkan kadar sara diri beras iaitu sebanyak 80% menjelang 2030 boleh terjejas jika langkah-langkah awal pencegahan tidak diambil. Bagi makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor mempunyai lebih daripada 1,600 hektar sawah padi yang aktif dan lebih 54% terletak di daerah Muar serta Ledang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, langkah kerajaan mengesyorkan semua PBT, Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor menjalinkan usaha sama dengan kepakaran universiti awam terutama Universiti Teknologi Malaysia dalam membuat kajian dan menghasilkan Pelan Tindakan Iklim satu tindakan awal yang baik.

Walau bagaimanapun, saya mencadangkan ianya bukan sahaja difokuskan kepada melaksanakan tindakan dalam membuat kajian dan menghasilkan Pelan Tindakan Iklim serta urus niaga Carbon Trading dengan izin, tetapi perlu diperluaskan kepada langkah pencegahan dari sudut keperluannya. Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn telah menjalankan kajian saliran dan pengurusan air ribut. Hasil daripada kajian berupa hotspot banjir telah dikenal pasti di beberapa kawasan sekitar bandar Muar.

Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Majlis Perbandaran Muar kerana telah membina beberapa struktur kawalan banjir sepanjang kawasan tadahan Sungai Muar bagi mengurangkan risiko banjir. Walau bagaimanapun, seperti sedia maklum daerah Muar merupakan salah satu daerah di Johor yang terkesan akibat banjir monsun dan banjir pantai kerana kedudukannya berada di hilir sungai dan berdekatan dengan Selat Melaka. Kejadian banjir besar di daerah ini akan diburukkan lagi jika berlaku limpahan Sungai Muar dan kejadian fenomena air pasang besar.

Hasil kajian yang disebutkan di atas menunjukkan beberapa penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat mengurangkan masalah banjir ini. Beberapa kawasan seperti di Mukim Bakri, Mukim Sungai Raya, Bandar Satu, Bandar Dua dan Bandar Maharani telah dicadangkan beberapa penyelesaian seperti menaik taraf parit keliling, menaik taraf ban sungai, ban pantai, membina kolam takungan, membina saluran air keluar dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada, memasang pam dan membina pintu air di beberapa kawasan hotspot banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana cakna berkaitan dengan perkara ini. Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Teras Kelima, Strategi Keempat, sejumlah RM18.9 juta telah diperuntukkan bagi menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir di sungai. Walaupun peruntukan ini kecil dan pastinya tidak dapat menyelesaikan masalah banjir kilat, banjir monsun secara total terutama di daerah Muar dan DUN Simpang Jeram, namun ianya menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri meminumkan kesan banjir kilat, banjir monsun jika berlaku. Saya yakin dan percaya peruntukan yang lebih dapat diangkat kepada kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kekurangan beras tempatan di pasaran hangat diperkatakan dan diperdebatkan oleh rakyat di media-media sosial hatta lanjutan hingga ke kedai kopi, warung-warung dan di mana sahaja. Isu ini dari hari ke sehari dilihat semakin panas dan timbullah dakwaan-dakwaan liar yang secara totalnya menyalahkan pihak kerajaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, kekurangan beras tempatan di pasaran sebagaimana kita sedia maklum disebabkan oleh beberapa faktor. Apabila negara luar pengeksport beras ke Malaysia seperti India, Vietnam dan berapa negara lain telah menghentikan pengeksportan mereka bagi menjaga kepentingan negara mereka, menyebabkan harga beras import meningkat naik dengan drastik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kenaikan harga beras putih import ini telah menyumbang kepada peralihan trend pembelian pengguna kadar makanan rugi di negara ini. Sekaligus menyebabkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran. Peningkatan sebanyak 60% harga beras putih import pada akhir Ogos tahun lalu selain pengukuhan Dolar Amerika berbanding Ringgit telah memberi impak kepada peningkatan beras putih import yang tahap kebergantungannya adalah sebanyak 30%.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sikap tidak amanah dan pertanggungjawaban mencampurkan beras import dengan beras tempatan dan dijual dengan harga beras import juga menyebabkan beras tempatan seolah-olah tidak mencukupi. Dan ini mengakibatkan di kedai, supermarket dan hypermarket beras tempatan ini seolah-olah hilang dari pasaran. Walaupun terdapat kritikan terhadap kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seperti Program Beras Putih Tempatan, Ops Jamin dan operasi beras putih tempatan selain meningkatkan pengeluaran sebanyak 20% bekalan bagi memastikan ia mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menyelesaikan isu ketidakcukupan beras tempatan di masa ini dan masa mendatang, hasrat kerajaan negeri Johor untuk terus komited menjadi penyumbang utama sektor pertanian dan agro makanan negara perlu kita sokong. Tawaran kerajaan negeri dengan menawarkan tanah di negeri ini untuk dipertimbangkan bagi peluasan kawasan penanaman padi bukan sahaja dilihat dapat meningkat peratus pengeluaran beras tempatan negara, tetapi secara tidak langsung meningkatkan kecukupan beras tempatan di negeri Johor. Tawaran ini perlulah disambut dengan baik bagi menjamin keterjaminan makanan negara khususnya di negeri Johor.

Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar atas keprihatinan Yang Berhormat bagi memastikan keperluan beras negeri

dapat dipertingkatkan melalui Teras Kedua, Strategi Keempat Keterjaminan Bekalan Makanan. Inisiatif Pertama Pelan Pembangunan Industri Padi dan Beras di bawah Periuk Nasi Selatan bagi hasrat meningkatkan produktiviti pengeluaran beras sehingga 13,000 tan metrik dan dijangkakan dapat dimanfaatkan oleh 700 pesawah di negeri Johor.

Bagi makluman Ahli Dewan, Johor memiliki 10 kawasan sawah padi seluas lebih daripada 1,600 hektar merangkumi di Tangkak 842.97 hektar, Muar 364.22 hektar, Mersing 549.38 hektar, Batu Pahat 141.70 hektar dan Kluang 356.12 hektar membabitkan 875 pesawah. Bagi makluman, musim menuai padi antara 2021 dan 2022 pula, Johor mengeluarkan 10,783 metrik tan padi iaitu bersamaan dengan 7,551 metrik tan beras. Walau bagaimanapun, dibimbangi hasrat murni kerajaan meningkatkan hasil pengeluaran beras ini tidak mencapai sasarannya. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan Sungai Balang tanah sawah padi seluas 364.22 hektar daripada keluasan tersebut yang ditanam padi hanya 297 hektar, manakala 3.306 hektar telah didirikan bangunan rumah, 7.3992 hektar pula telah ditanam kelapa sawit dan seluas 1.54 hektar telah kosong oleh pemilik tanah. Saya dimaklumkan juga terdapat pemilik tanah yang telah memajakkan lot tanah mereka dan ini mengakibatkan penanaman padi tidak diusahakan secara baik dan ianya mengurangkan pengeluaran di kawasan ini. Justeru ini, saya mohon supaya suatu tindakan yang tegas perlu diambil kepada pemilik-pemilik tanah sedia ada yang menyalahgunakan tanah mereka bagi tujuan lain dan tindakan tegas ini bagi memastikan kawasan penanaman padi sedia ada benar-benar digunakan sebagaimana syarat asal. Dan insya-Allah dengan tindakan tegas ini hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran beras di negeri Johor mudah-mudahan terlaksana.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi makluman Ahli Dewan ini pada tahun 2022 sahaja keperluan beras bagi negeri Johor adalah sebanyak 314.207 metrik tan. Bagi memastikan negeri Johor menjadi negeri penyumbang utama sektor pertanian agro makanan lebih-lebih lagi dalam meningkatkan pengeluaran beras negara, maka dicadangkan satu kajian lanjut perlu dilaksanakan di daerah Muar bagi membolehkan lebih banyak tanah digunakan untuk tujuan pengeluaran beras ini.

Speaker

Yang Berhormat...

Saya.

Speaker

Tinggal tiga minit lagi.

Saya juga mencadangkan bajet berkaitan pertanian ini dapatlah dipertingkatkan supaya ianya benar-benar menunjukkan komitmen kita dalam hal ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ekonomi berasaskan pengetahuan adalah sistem ekonomi di mana pengeluaran barang dan perkhidmatan berdasarkan kepada aktiviti intensif berasaskan pengetahuan yang menyumbang kepada kemajuan dan inovasi teknikal dan saintifik. Sejak akhir tahun 2000, ekonomi berasaskan pengetahuan muncul dengan memuncak kuasa pengetahuan dalam sektor modal insan dan kini ditandakan sebagai peringkat terkini pembangunan dalam penstrukturan semula ekonomi global.

Yang Berhormat Datuk Speaker, buat masa ini ekonomi Malaysia terutamanya didorong oleh sektor perkhidmatan yang menyumbang lebih 50% kepada KDNK negara, sektor pembuatan juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi menyumbang kira-kira 23% daripada KDNK. Menurut Bank Dunia, Malaysia berkemungkinan melonjak daripada ekonomi berpendapatan sederhana tinggi semasa kepada ekonomi berpendapatan tinggi sekitar tahun 2024 dan 2028. Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.5% pada 2022 didorong terutamanya oleh pemulihan kukuh dalam penggunaan. Pengumuman

penubuhan Johor-Singapore Special Economic Zone dan Special Financial Zone yang akan dimeterai MoU nya di antara kerajaan Singapura dan kerajaan Malaysia pada 11 Januari 2024 akan menjadi salah satu pemangkin ekonomi kepada negeri Johor.

Yang Berhormat, mengenai situasi ini kerajaan negeri diseru bagi menyediakan ekosistem yang lebih konduktif dalam mengembangkan potensi sedia ada. Untuk tujuan itu, suatu kerjasama strategik antara universiti setempat bersama daerah Muar adalah dicadangkan. Buat masa ini, inisiatif Living Lab Muar yang telah dimulakan oleh Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar dan Universiti Tun Hussein Onn telah menampakkan hasilnya. Sejak kerjasama dilaksanakan pada tahun 2018, daerah dan masyarakat setempat telah mendapat impak yang positif. Melalui sistem ini, penerangan terhadap pendidikan Muar dapat ditonjolkan melalui mural-mural yang berkisar kepada lokasi pelancongan, unik serta tradisi masyarakat setempat di Muar. Kejayaan ini membuka mata ramai pihak serta menarik pelancong domestik dan antarabangsa. Ia juga mendapat liputan luas media-media massa setempat. Ini telah memberikan pendapatan yang baik kepada pengusaha pelancongan, produk makanan serta perhotelan di Muar. Hari ini, lorong-lorong belakang di Muar telah menjadi salah satu benchmark negara dan kerap dilawati oleh pelancong-pelancong terutamanya pada hujung minggu.

Speaker

Yang Berhormat, masa tamat.

Izinkan saya...

Speaker

Tak boleh Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata saya Simpang Jeram mohon supaya cadangan-cadangan untuk menaik taraf sistem pelancongan di daerah Muar dapat dilihat melalui Belanjawan 2024. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Simpang Jeram. Saya jemput Sri Medan.

Gangguan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bacaan selawat. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana beri ruang kepada saya. Sesi yang lepas saya ingat Speakernya Datuk Samsol, hari ini Datuk Puad. Jadi, mungkin Datuk Puad tak dengar apa yang saya katakan pada perbahasan yang lepas. Jadi ada beberapa perkara saya terpaksa cerita semula untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker terutamanya masalah banjir Sri Medan.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, terutamanya sebelum saya meneruskan ucapan perbahasan saya, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada 22 hari bulan 11 tahun 2023. Saya juga ingin merafak sembah seraya merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang telah diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut, marilah kita berdoa (Dewan bertepuk) agar Piala Malaysia juga akan menjadi milik pasukan JDT. Dan juga saya ingin

mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Johor 2024. Dalam perbahasan kali ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tak dapat nak menyentuh semua teras, kita ada 6 teras, 29 strategi, 99 inisiatif. Saya cuba menyentuh serba sedikitlah apa yang telah dibentangkan dalam belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya rasa masa pun tak mencukupi, kesian saya tengok tadi Simpang Jeram, saya rasa banyak lagi tu, ya dia pengalaman pertama Datuk Speaker.

Perbahasan yang lalu banyak saya bangkitkan tentang banjir. Saya ingat kalau kata boleh menangis tu, saya nak menangislah, boleh menitis air mata. Jadi pada ketika itu, selepas DUN Sri Medan dilanda banjir, banyak perkara yang kita lalui sampai sekarang pun sebenarnya tak selesai lagi, banyak lagi yang perlu kita tangani, banyak perkara yang perlu saya dapat kerjasama daripada semua jabatan-jabatan dan hari ini bila banjir masih, kita masih trauma dengan keadaan banjir yang lepas. Dua, tiga hari lepas Medan ini memang nasibnya saya ingat yang sentiasa diuji kerana kita terlibat pula dengan banjir kilat. Banjir kilat kalau empat hari lepas di Kampung Air Putih dan semalam berlaku di kawasan Sri Medan di Kampung Sri Jasa, di Jalan Besar Sri Medan, di Kampung Parit Haji Ahmad, itu antara tempat-tempat yang menjadi tempat kira hotspot jika berlakunya banjir kilat. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sebagai ADUN saya ingat dekat 10 tahun, ini merupakan satu pengalaman yang cukup pahit kerana saya terpaksa lalui bersama penduduk kawasan DUN Sri Medan dan saya tahu jabatan-jabatan pun banyak membantu.

Dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Batu Pahat, saya difahamkan telah menyalurkan peruntukan yang diberi oleh NADMA dan juga kerajaan negeri yang berjumlah saya ingat RM53 juta banyak. Kalau di Batu Pahat sahaja pun saya ingat lebih 20,000 mangsa yang terlibat ketika banjir yang lepas. Tapi, saya dimaklumkan masih ada lagi yang belum dapat dan masih ada lagi yang kata belum terima bantuan wang ihsan yang disebut-sebut oleh kita semualah. Sebab itu, tadi saya dengar ada rakan-rakan menyebut dia kata perlu pengagihan wang itu perlu dipercepatkan kerana saya ingat lagi janji Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ketika selepas saya berbahas ketika penggulungan, tempoh untuk memberi Bantuan Wang Ihsan ini kepada daerah Batu Pahat mungkin sehingga akhir tahun, ok kita akur. Tetapi, saya ingin ingatkan di sini bahawa tanggungjawab kerajaan negeri mesti memastikan bahawa setiap mangsa yang telah berdaftar yang telah diperakui mesti memperolehi Bantuan Wang Ihsan.

Ini Wakil Rakyat DUN Sri Medan bercakap, kerana kita tak mahu akhirnya perkara ini diterima sebagai satu bebanan kepada Wakil Rakyat. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker saya mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri agar tengok balik, saya dah sebut dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Batu Pahat dengan Yang Berhormat Datuk Speaker ada sama ketika Mesyuarat Tindakan Daerah. Saya tak kiralah siapa Pegawai Daerah, saya tahu Pegawai Daerah ini akan bertukar setiap masa tapi pastikan apa keputusan yang dibuat oleh Pegawai Daerah pada ketika itu mesti dipertanggungjawabkan oleh Pegawai Daerah yang baharu. (Dewan bertepuk). Itu yang paling penting kerana kita tahu, orang Medan, tuan-tuan pun tahu, Ahli-Ahli Yang Berhormat, rakan-rakan saya pun tahu macam mana teruknya kita menghadapi banjir pada ketika itu.

Sebab itu, Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingin mengucapkan terima kasih jugalah kepada agensi-agensi yang ada seperti JPS, JKR, Southern Volunteers malam tadi pun mereka bergegas ke kawasan Sri Medan untuk membantu, untuk membersihkan rumah-rumah yang terkena banjir kilat. Sebab itu saya dah selalu menyebut, kita pun tahu, YB Raven, EXCO telah datang ke Batu Pahat. Apa yang saya nampak di sini, kekangan peruntukan daripada jabatan-jabatan yang ada ini sebenarnya tak mencukupi Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau apa yang telah dimaklumkan ketika perjumpaan saya dengan JPS, JPS Daerah, peruntukan tak melebihi 40% dengan keadaan panjangnya parit dalam kawasan DUN Sri Medan, hampir 400 kilometer, hanya 100 lebih kilometer sahaja

yang boleh diperuntukkan untuk dicuci parit, sedangkan kawasan-kawasan yang berisiko untuk menghadapi banjir ini adalah kawasan DUN Sri Medan.

Tadi bila kita berborak tadi di luar, ada juga rakan-rakan daripada Parit Yaani dia sebut, selalu salahkan JPS, saya bukan nak salah JPS, saya tahu JPS ini ada kekangan dia, tetapi macam mana kita nak menguruskan dengan tak sampai 40% pun peruntukan yang ada untuk menguruskan parit-parit yang ada. Kalau kata daerah Batu Pahat saya rasa tak kurang daripada 2,000 kilometer untuk pengurusan daerah Batu Pahat, ini sebenarnya akan beri kesan untuk jangka masa panjang. Saya pun tahu saya dah sebut ketika sesi perbahasan yang lepas, kalau Sungai Simpang Kiri itu, projek untuk projek tebatan banjir dilaksanakan setiap 10 hingga 15 tahun sekali. Hari ini Sri Medan kalau kata nak banjir pun 10,15 tahun sekali. Kalau nak kata musibah banjir pun kita dah tahu dah daripada tahun 86 daripada tahun 2006, tahun 2016, 2017 dan tahun 2023. Kalau Yang Berhormat Datuk Speaker boleh kira pun dalam tempoh 10,15 tahunlah sebenarnya berlakunya banjir di Sri Medan.

Jadi kalau ini perkara ini tidak menjadi satu pengajaran kepada kerajaan, saya difahamkan beratus juta kerajaan terpaksa peruntukkan untuk membantu rakyat, membaik pulih rumah dan sebagainya untuk apa untuk membaiki rumah-rumah yang rosak. Saya rasa kita akan menghadap masalah yang sama lebih-lebih lagi dengan keadaan monsun timur laut, hari-hari bila kata hujan lebat kita dalam keadaan kita pun khuatir, apa jadi dengan Medan ya? 12.40 pagi ya orang kampung teks saya, kampung kena banjir kilat. Kerana kita lihat monsun timur laut ni, dia belum diisytiharkan sebagai bencana Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau kita lihat, kalau sapa yang dimaklumkan oleh rakan saya EXCO yang bertanggungjawab monsun timur laut ini akan berlanjutan hingga bulan 3 atau bulan 4, sedangkan monsun timur laut ni dia akan berlaku hujan lebat, dia akan berlaku banjir kilat sedangkan hari ini dia memberi kesan yang cukup panjang kepada penduduk-penduduk tempatan.

Contoh, peniaga, hari ini kalau kata bencana kita bayangkan bencana itu banjir, bencana itu kebakaran tapi hari ini monsun timur laut sebenarnya kalau kata kerajaan negeri kena mengambil kira sebagai satu bencana kerana kesannya juga kepada siapa? Kepada peniaga-peniaga. Yang meniaga tepi jalan kalau dulu dapat RM50.00, RM70.00 hari ini dah tak dapat dah. Buka aje stall, selepas pukul berapa, beberapa jam hujan lebat, beri kesan. Yang meniaga-meniaga, yang sewa PBT dengan kedai dan sebagainya akhirnya mereka tak boleh bayar sewa kerana pengunjung dah tak ada.

Sebab tu hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingin mengajak kerajaan negeri untuk melihat bahawa fenomena monsun timur laut ini sebagai bencana dan perlu kerajaan mengambil kira kesan kepada rakyat yang ada di luar sana kalau peniaga perlu bantu mereka kalau kata pekebun macam mana sawit itu tak boleh nak dipetik kalau kata banjir, berlaku air termenung, tak boleh nak keluarkan sawit. Kalau pekebun getah tak boleh nak noreh getah. Jabatan mana yang bertanggungjawab? Kalau saya tanya ea, kalau YB EXCO yang berkaitan kalau kata bolehlah senaraikan dengan saya dan juga Ahli Dewan apa bantuan yang telah diberikan ketika banjir yang lepas. Saya ada sebut, agensi Jabatan Pertanian apa? Dengan jumlah yang kena keluarga lebih 20,000 apa bantuan yang diberi untuk bantu petani-petani? Sebab itu saya nak mengajak Ahli Dewan semua untuk kita setuju bahawa monsun timur laut ini juga perlu ditangani sebagai satu bencana dalam negeri Johor.

Kalau kata tak bantu, jadi rakyat kalau hari ini kita kata nak tahun 2030 negeri maju. 2030 negeri maju, tadi Simpang Jeram sebut 2030 Muar akan tenggelam. Mana datangnya negeri maju kalau Muar nak tenggelam? Ya? Mana datangnya negeri maju kalau Muar nak tenggelam? Semua aktiviti tak boleh berjalan, kita dah tahu dah kita ada tempoh tak sampai tujuh tahun sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita hebat bercakap, mana

ukuran? Ukuran yang rakan-rakan EXCO semua buat untuk menyatakan bahawa 2030 mesti kita jadi negeri maju. Ukurannya apa? Kena pastikan maju tu dalam bentuk apa? Rakyat semakin susah? Rakyat semakin miskin? Kalau dulu COVID, kena banjir selepas banjir, kena banjir kilat sampai bila kita nak menghadapi keadaan ini untuk menghadapi tahun 2030. Saya rasa kerajaan kena tengok dia bukan kita kata wah! Satu perjuangan yang retorik. 2030 kita negeri maju. Tak pe, saya setuju saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar saya setuju dengan apa yang dibentangkan saya tak da lah kata wah! Ini pembentangan mungkin retorik, tak. Tapi rakan-rakan semua sepuluh-sepuluh EXCO ni bentangkan pencapaian dari semasa ke semasa sehingga 2030. Ini yang paling utama kerana rakyat susah macam mana saya fikir. Ha, saya pernah post satu facebook status.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya boleh kongsi saya tanya dengan rakan-rakan facebook saya apa berapa agaknya eh duit dalam kocek kawan-kawan saya semua hari ini. Komen beratus Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ada RM20.00 aje tok nak tunggu 3 hari lagi untuk gaji, ada yang sebut saya nak beli susu anak pun dah tak boleh. Macam mana eh rakan-rakan EXCO, kita mendukung kerajaan hari ini sebagai EXCO kerajaan negeri tapi ada lagi orang yang susah dalam kawasan kita. Ini tanggungjawab sebab tu Yang Amat Berhormat Menteri Besar dia ada tajuklah saya baca sini tema dia “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, saya pun ada saya punya tema dalam perbahasan kali ini. 4M, Memahami, Merasai, Menjiwai, Melaksanakan Denyut Nadi Rakyat. (Dewan bertepuk).

Kena tahu, kita bukan boleh kita bercakap kita tahu tak apa yang berlaku di bawah? Minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker eh, saya kena sebut eh, siapa Yang Berhormat Datuk Speaker pun sebagai Wakil Rakyat apa sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi ini? Yang perlu kita tangani RM1.8 bilion seperti yang diumumkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, 64% lebih adalah perbelanjaan pengurusan. Ea? 64.6% adalah perbelanjaan pengurusan, 34% lebih hanya untuk perbelanjaan pembangunan. Macam mana ea datangnya, datangnya soal negeri maju ni? Saya pernah berpengalamanlah sebagai EXCO kerajaan negeri Johor setiap tahun emolumen mesti naik, 5 hingga 10% mesti naik. Ada jabatan jumpa saya “tok, peruntukan kurang la tok, tak boleh program terpaksa kita kecilkan”, program kita kecilkan, gaji tetap naik. Kita pun hari ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar dah umumkan kita dapat 2 bulan bonus, kat luar tu kita nak menjawab sebenarnya tapi tak apalah rezeki, rezeki jangan ditolak, jadi sama-sama jawablah kawan-kawan saya di sana. Bila itu hari kita bentangkan, angkat tanganlah betul macam Datuk Jefridin sebut angkat tangan jangan sampai kita apa? Kita kan dah jadi sahabat, rakan pengimbang. Sokong! Kat luar ni teruk ni, ni belum lagi kita belum umumkan rumours macam-macam Datuk Speaker. Gaji Speaker naik, gaji contoh minta maaf, gaji EXCO naik, saya rasa teruk kita tapi tu tak ada masalah tapi kita tahu mereka pun tahu tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat. Kalau nak dibandingkan dengan negeri lain kita masih rendah, betul, masih rendah tapi macam mana kita nak menangani, menangani apa, soalan daripada rakyat selepas ni, kena sama-samalah. Baru kita seronok, baru kata kerajaan kita didukungi oleh rakan-rakan pengimbang kita boleh bergerak satu nada, satu derap, itu yang kita nak.

Sebab tu, Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam saya tema, pasal saya memahami, merasai, menjiwai, melaksana ni saya 4 perkara yang selalu saya cuba bawa dalam mana-manalah program-program saya. Yang pertama soal perumahan. Mana-mana cerita soal perumahan, rakan-rakan YB saya, rakan-rakan di sebelah sini pun cerita pasal perumahan tapi apa yang saya, kita nak buat pasal perumahan? Selama ni kita cerita pasal SPNB Syarikat Perumahan Negara Berhad kita bawa turun, berapa ramai anak-anak muda yang datang berpusu-pusu kerana nak tahu apa dia SPNB boleh bantu, yang mohon belum dapat pun apa nak tahu status dia. Apa kerajaan buat ya?

Saya sukalah bukan saya dengki ya apa Mahkota dapat PPR berapa belas juta ke ratus juta tak apa, saya tak ada masalah, saya suka. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan saya Kampung Atap, Kampung Satay, Jalan Masjid masih banyak lagi rumah setinggan yang belum kita uruskan. Bulan lepas, saya ada 4 buah rumah kena robohkan oleh pemilik yang baharu. Macam mana kita nak letak mereka kat mana YB? Tolonglah saya YB nasib baik adalah YB EXCO Agama dalam kawasan saya dia bayarkan sewa guna Majlis Agama Islam, nasib baik tapi ada lagi lebih daripada 60, 70 rumah yang kita nak selesaikan ini. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Jafni ada satu kes di Kampung Patani, alhamdulillah atas usaha EXCO Perumahan bekerjasama dengan PKPJ, alhamdulillah kita dapat pindahkan mereka di satu tapak perumahan baharu. Ha ini…

Speaker

Yang Berhormat tinggal 2 minit je lagi.

Ada banyak perkara lagi ini tak boleh boleh dapat masa kecederaan tak boleh Datuk Speaker, pasal banjir ni ea? Saya minta ihsan sikitlah…

Speaker

2 minit Yang Berhormat.

2 minit eh? (Ketawa) yang kedua, tadi pertama perumahan yang kedua pekerjaan. Pekerjaan ni kita cerita 2.5% lah ok, apa pengangguran dalam negeri Johor betul ke data tu? Cek betul-betul YB EXCO saya tengok ramai juga, bukan tempat saya tempat orang lain pun ramai, banyakkan karnival pekerjaan tak ada duit, kalau YB EXCO tak ada duit gunakan duit Yayasan PBT yang ada 16 yayasan yang ada di negeri Johor, gunakan. Macam mana saya gunakan Yayasan Makmur Batu Pahat, YB Datuk Samsol gunakan Yayasan Makmur Yong Peng untuk kita mengerak karnival pekerjaan untuk bantu anak-anak muda. Pendidikan itu penting, macam mana kita nak pastikan anak-anak kita dapat pendidikan yang cukup kalau dulu mereka miskin keluarganya, mereka boleh jadi kaya, mereka boleh mengubah nasib keluarga mereka. Ada satu teori pembangunan masa saya belajar dulu, ada satu teori pembangunan dia sebut Teori Putaran Ganas. Teori Putaran Ganas ini dalam kita punya, kita belajar, dia sebut kalau bapak tu dulu pemandu anaknya mesti jadi pemandu. Macam kat Korea Utara, minta maaf ea, ada satu negara di luar kan? Kalau mereka tu keluarganya pesawah pastinya menjadi pesawah tapi kita kena ubah, nak mengubah nasib sesuatu kaum, sesuatu keluarga mesti bermula daripada pendidikan. Pendidikan itu lah sebenarnya yang boleh membantu mengubah nasib keluarga mereka.

Dan yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker, kos sara hidup. Banyak Jualan Rahmah apa semua ni, Yang Berhormat Datuk Speaker pun tahu pulak di kawasan kita Jualan Rahmah. Saya minta kalau kita tak mampulah, bekerjasama lah dengan kerajaan pusat yang ada buat program-program Jualan Rahmah. Orang Medan bukan tak ada duit Yang Berhormat Datuk Speaker, orang Sri Medan kaya tapi orang Seri Medan nak harga yang lebih rendah daripada harga yang mereka tawarkan hari ini. Bukan tak ada duit yang tak mampu, Baitulmal ada. Mereka yang dah tak boleh nak beli barang, JKM ada, tetapi mereka yang mampu mereka ada duit tapi mereka nak harga rendah. Jadi, kalaulah mereka boleh belanja dengan duit yang mereka ada dengan sebaik mungkin, insya-Allah negeri maju 2030 orang Medan pun maju semua bangsa Johor semua akan maju. Jadi saya minta maaf Yang Berhormat Datuk Pengerusi, sebenarnya banyak lagi terima kasih kerana peluang yang diberikan kepada saya. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Seri Medan, saya jemput Benut.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama terima kasih di

atas peluang yang diberikan untuk turut sama berbahas pada petang ini sempena pembentangan Bajet 2024 bagi negeri Johor. Seperti mana rakan-rakan Ahli Dewan saya juga mengambil kesempatan untuk ucap Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 22 November baru-baru ini. Patik juga turut merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja atas pengisytiharan pemilihan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.

Patik juga turut merakam setinggi penghargaan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor kerana telah merasmikan Johor Sustainability Centre bagi membolehkan negeri Johor terus berada di hadapan dalam usaha untuk memperjuangkan aspek kelestarian sama ada tentang tenaga boleh baharu, tentang teknologi hijau dan sebagainya. Dengan adanya Johor Sustainability Centre ini telah meletakkan Johor berada di tempat yang paling hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker saya juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tengku Mahkota Johor yang kita semua tahu bahawa pencapaian kejayaan pasukan JDT ini adalah hasil kegigihan dan juga pengorbanan Duli Yang Amat Mulia Tunku dan hari ini kira point itu care taken hari ini saya dah merujuk kepada podcast, keluar sekejap sewaktu Duli Yang Amat Mulia hadir dalam siri podcast tersebut, dia banyak merungkaikan, banyak persoalan tapi tidak saya berhajat untuk memperkatakannya satu-satu, cuma yang menarik minat saya ialah apabila dalam siri podcast itu ditanya, pencapaian Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kalau diukur dari 1 hingga 10 di mana?

Mula-mula Duli Yang Amat Mulia mengatakan 7, 1 to 10, seven, tapi bila diusik sikit oleh juru acara turun pulak dah 6. Yang Berhormat Datuk Speaker saya percaya dengan bajet 2024 ini daripada 7 ke atau 6 pastinya pencapaian Yang Amat Berhormat ini sekurang-kurangnya 8. (Dewan bertepuk). Kalau kita ukur daripada skala tersebut. Tapi ada syarat-syaratnya, ada syarat-syarat untuk sampai ke peringkat 8 itu. Saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas pembentangan bajet Yang Berhormat dengan tema “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”.

Jadi ini bererti, Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa bajet selalunya berkisar kepada 2 perkara, satu siling, sejauh mana kita boleh pertingkatkan bajet kita. Hasil kerajaan negeri nampaknya terhad walau apa pun pada tahun depan, pada tahun 2024 kita hanya menganggarkan bahawa hasil adalah sebanyak RM1.804 dan perbelanjaan RM1.799. Anggaran Pembangunan RM650 juta, RM650 juta itu adalah lantainya, yang harus kita naikkan kalau misal kata syiling kita naikkan, saya bersetuju dengan sahabat saya Yang Berhormat Medan sebentar tadi bahawa kita ada umum tentang soal bonus, ada umum tentang kenaikan elaun, kita menaikkan lantai, eh kita menaikkan siling. Kos pengurusan meningkat pada tahun depan sebanyak 3.94%. Hasil juga meningkat sebanyak 4.03% tetapi itu silingnya, lantainya macam mana nak tak kita naikkan. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, perlu sebab Johor ini bukannya negara atau negeri yang biasa-biasa. Its not a mediocre state sebab itu Special Economic Zone berlaku di Johor, special financial zone berlaku di Johor. Dalam ucapan belanjawan Yang Amat Berhormat dengan jelas telah menyatakan bahawa ini adalah satu perancangan pembangunan negeri Johor tidak harus lepaskan peluang daripada meraih sebanyak mungkin faedah daripada kewujudan Special Economic Zone ataupun Special Financial Zone ini. Alhamdulillah ini bererti bahawa kita tak boleh salahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana dia dah ada visi dia, beliau telah pun menyatakan ke mana hala tuju kita. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyambut baik saranan ini, supaya kita cari bagaimana kerajaan negeri boleh mendapatkan sumber hasil baharu.

Amat penting, kerana kita telah menaikkan siling dan kita perlu pastikan lantai juga dapat kita naikkan. Dan ini bererti bahawa kalau boleh, cabaran kita, kerajaan pusat mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4 hingga 5% pada tahun 2024, kerajaan negeri mungkin 7% kalau tak silap saya begitulah 7%, 8%. That is a very tall order, dengan izin Datuk Speaker. 7 hingga 8% tentu kita nampak potensi dan peluang yang pada di negeri Johor untuk kita mengunjurkan pertumbuhan sebegitu banyak. Jadi dengan ini saya mencadangkan, Benut mencadangkan, mengesyor kepada kerajaan negeri supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Penasihat Ekonomi yang akan memberi nasihat dan pandangan bukan hanya tentang soal mengenal pasti hasil baharu tetapi juga kaedah terhadap subsidi yang kita nak bagi, terhadap jaringan perlindungan sosial, terhadap syarikat pemilikan kerajaan yang sedia ada sama ada sudah bersedia atau pun tidak. Untuk meraih sebanyak mana mungkin peluang negeri yang mempunyai Special Economic Zone dan juga negeri yang mempunyai Special Financial Zone ini. Jadi sebab itu saya kata tadi Yang Berhormat mungkin juga, kita dapat lihat tadi lantai tak naik Yang Berhormat. Tahun 2021 bajet Pembangunan RM850 juta, tahun 2022 bajet Pembangunan RM870 juta, tahun 2023 bajet Pembangunan RM600 juta menurun, tahun 2024 kita jangkakan sebanyak RM650 juta. Itu kepada saya adalah lantainya yang hari ini menurun tetapi juga silingnya nampak macam meningkat. Jadi betullah kata YB Sri Medan tadi, macam mana kita nak menjawab di bawah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berbalik kepada soal dengan adanya Special Economic Zone kita pulak negeri yang bukan biasa-biasa, maka perlu kita ada perancangan yang meraih, menaruh sepenuh peluang yang ada. Saya juga mengesyorkan, dengan itu saya mengesyorkan, Benut mengesyorkan supaya diwujudkan satu bandar baharu dalam kawasan Iskandar Malaysia contoh atau kota yang baharu, kita jangan fikir kecil-kecil kita harus bina satu idea yang besar kerana di Kulai itu terdapatnya satu kawasan pembangunan yang dinamakan Ibrahim Technopolis dirangkumkan juga dengan Sedenak Techpark 1 dan 2 yang telah menarik minat begitu banyak pelabur dalam sektor data centre ini.

Begitu juga seperti cendawan Yang Berhormat Datuk Speaker, tumbuh di Sedenak, Sedenak Techpark 1 dah mula habis semua habis kawasan dan dalam pembinaan. Sedenak Techpark 2 sedang dalam pembinaan atau pun banyak juga yang membuat tinjauan untuk membangunkan data centre di kawasan tersebut. Ibrahim Technopolis kawasan ini merangkumi sebanyak seluas 7,200 ekar, itu tak masuk lagi perancangan Kulim Plantations untuk dia cut out sebahagian daripada plantations mereka, ladang mereka untuk membangunkan Industri EV, tak jauh daripada situ Yang Berhormat. Ada lagi 2,950 ekar tanah untuk pembangunan industri yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan di atas nama Southern Catalyst kenapa tidak ketiga-tiga kawasan ini dirangkumkan, dibangunkan sebuah kota yang baharu (Dewan bertepuk) sebagai satu pertumbuhan ekonomi baharu bagi negeri Johor. Dalam sektor pembangunan data centre dalam segi pembangunan green technology, dari segi pembangunan-pembangunan kelestarian yang boleh dilakukan di kawasan itu, 7,200 di Sedenak atau Ibrahim Technopolis, 2,000 ekar ladang Sedenak atau pun milik Kulim, 2,900 hampir 13,000 hektar boleh dibangunkan sebagai kota yang baharu Yang Berhormat.

Bila kita dah ada perkara tersebut, Benut mengesyorkan juga kepada kerajaan negeri kalau di Kedah itu Yang Berhormat Datuk Speaker, bila dibangunkan Kulim High Techpark itu dia boleh ada pembekal tenaga secara independent secara bersendiri, independent power producer. Maka kalau kita kerana Datuk Speaker, kita semua tahu bila data centre ini dia tak menyediakan banyak peluang pekerjaan, tak banyak tetapi dia memerlukan tenaga yang begitu banyak, tenaga elektrik, memerlukan sumber air yang begitu banyak sehinggakan pembangunan di Kulai itu menghadapi masalah permohonan-permohonan baharu di luar kawasan data centre. Menghadapi masalah untuk mendapat bekalan air, mendapat bekalan

elektrik yang cukup, kerana bimbang dengan adanya permintaan yang begitu meluas untuk pembangunan data centre.

Maka, Benut mengesyorkan wajar sampai masa dan ketikanya negeri Johor ini memiliki IPPnya sendiri untuk membekalkan tenaga elektrik kepada industri-industri tersebut. Selain daripada itu SAJ, SAJlah, ia menguruskan air terawat tetapi tidak salah kalau kerajaan negeri tidak menyalahkan atau Water Supply Services Act untuk kerajaan negeri memiliki sendiri loji bagi pengeluaran industri dibekalkan kepada industri-industri. Ini yang saya maksudkan hasil-hasil baru bagi kerajaan negeri. Ini tidak termasuk Yang Berhormat Datuk Speaker, cerita-cerita tentang soal nak membekalkan tenaga hijau ke negara jiran kita Singapura. Itu tak termasuk tu lagi, banyak peluang ekonomi baharu yang harus direbut maka sebab itu wajar kerajaan negeri membentuk satu jawatankuasa khas, jawatankuasa penasihat, jawatankuasa khas untuk melihat tentang soal ekonomi bagi memberi nasihat dan pandangan kepada kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2024 ini memang tahun mencabar. Yang saya boleh ingat boleh ingat ada 4, 5 negara yang akan menghadapi pilihan raya mereka, Singapura akan mengada pilihan raya 2024, Amerika Syarikat mengadakan pilihan raya mereka 2024, India, United Kingdom, Indonesia juga mengadakan pilihan raya. Kita berharap dengan terbentuknya kerajaan baharu, kerajaan yang stabil kerana negara-negara yang saya sebutkan tadi adalah negara-negara pelabur yang besar ke negeri Johor.

Kalau wujudnya ketidakstabilan pada negara-negara berkenaan hasil daripada kesan pilihan raya pada tahun hadapan ianya boleh juga menjejaskan peluang-peluang pelaburan kepada negeri Johor. Sebab apa saya kata begitu Yang Berhormat, Brunei Yang Berhormat ya, United Arab Emirates, Saudi Arabia, KDNK mereka, kita mengukur tadi pencapaian kita melalui KDNK kita menyumbang kepada KDNK Pusat sebanyak 17% dalam sektor pertanian. Brunei, UAE, Saudi Arabia KDNK mereka jauh tertinggi daripada Germany, Sweden, malah Jepun. Tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak semestinya Brunei, UAE atau Saudi Arabia lebih membangun daripada Germany, Sweden atau Jepun. Jadi, kita mengukuhkan KDNK berbanding dengan pembangunan yang berlaku dalam negara, dua perkara yang berbeza. Sebab itu angka kadang-kadang tidak begitu relevan kepada rakyat yang ada di bawah. Maka bila bercakap tentang soal kita menggunakan KDNK ini perlu optiknya itu baik, optiknya perlulah satu optik yang meyakinkan, kalau tidak kita akan terperangkap dengan perancangan kita sendiri. Sebab itu saya berkata tadi perbandingan tiga negara Arab Saudi, UAE dan juga Brunei tetapi pembangunannya di German, di Jepun dan di Sweden jauh lebih membangun.

Salah satu lagi Yang Berhormat untuk hasil baharu sebelum saya beralih kepada tadbir urus kerajaan. Kita buat perancangan mungkin kerajaan negeri boleh timbangkan offset lah dengan pinjaman dengan kerajaan pusat, kita masih ada pinjaman dengan kerajaan pusat saya tak berapa ingat jumlahnya tetapi antara yang terendah, yang paling rendah mungkin negeri Selangor, kedua mungkin yang paling rendah negeri Pulau Pinang, kita nombor tiga Yang Berhormat. Pinjaman yang paling tinggi, yang tak bayar-bayar saya dapat cerita itulah negeri yang mempunyai bajet yang paling besar dalam negara, 10 kali ganda daripada bajet kita tapi hutang federal tak bayar. Jadi, kita jangan risau sangatlah tentang hutang federal ni. Kalau boleh, projek-projek yang sepatutnya dibuat oleh dibuat oleh federal tetapi masih lagi tidak dibuat, kerajaan negeri sewajarnya berunding dengan kerajaan persekutuan, offset lah kita buatkan dulu tapi potong hutang, potong kita punya pinjaman, banyak kita boleh buat projek Yang Berhormat sebab kita nak cari cara naikkan lantai kerana siling kita dah naikkan, bajet bercakap tentang soal siling tentang soal lantai, itu bab apa nama ekonomi kita Yang Berhormat.

Dalam belanjawan Yang Amat Berhormat, kerajaan negeri pada tahun ini menyentuh tentang 6 teras dan salah satu terasnya ialah tadbir urus yang pertama, teras pertama. Yang

Berhormat, saya melihat kepada ada satu kertas yang diletakkan di atas meja kita iaitu penyata tentang Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap. Saya mengalu-alukan cadangan untuk menambah baik Peraturan-Peraturan dan juga Perintah-Perintah Tetap khususnya melibatkan Fasal 110 ditambah dengan 110A dan 110B dan juga 110C. A, B dan juga C.

Yang Berhormat, mengikut lazim kita ya Peraturan Tetap kita ada tiga jawatankuasa yang tetap yang pertamanya Jawatankuasa Perintah-Perintah dan juga Peraturan-Peraturan Tetap, satu, kedua Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, ketiga Jawatankuasa Kira-Kira Raya. Tiga jawatankuasa ini adalah Jawatankuasa Tetap. It’s ok, benda tu kita kekalkan, kita kekalkan jawatankuasa yang ada. Tetapi saya rasa macam Yang Amat Berhormat Menteri Besar berhasrat supaya Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana ini kenapa tidak kita buat dalam bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas kerana kita bukan hanya berdepan dengan isu perubahan iklim dan juga bencana. Kalau kita ada Jawatankuasa Pilihan Khas, kita juga boleh membicarakan tentang soal ekonomi, soal kewangan, rentas parti. Kita juga boleh bincangkan soal kesihatan, kita juga boleh membincangkan soal pendidikan, keusahawanan, sumber manusia, jaminan bekalan makanan, infrastruktur, pengangkutan dan lain-lain. Semua itu dibuat dalam bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas. Tidak menjadi satu Jawatankuasa Tetap, tetap ni dia tetaplah. Dia ada dia punya peraturan tetapi Jawatankuasa Khas ianya boleh dibentuk dan digubal mengikut keperluan semasa. Jadi ini amat penting. Kalau boleh saya minta supaya Jawatankuasa Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap ini dapat memikirkan semula perkara dan termasuklah saya juga terkejut bila Yang Berhormat baca doa. Jadi, saya tanya dengan YB Hahasrin, Panti, sorry, YB Panti saya tanya sebab dia yang bentang saya kata kenapa Speaker baca doa? Sebab Jurutulis kita perempuan, saya rasa mungkin itu bukan alasannyalah sebab dulu Cik Shubanah pun lama juga Jurutulis perempuan, kalau Datuk ingat masa kita di Parlimen dulu Datuk Rosmee pun 17 tahun Yang Berhormat, tetapi perkara itu tak berbangkit tak membuatkan sehingga Speaker membaca doa kesian Speaker, ada perkara-perkara lain kita terpaksa suruh Speaker pula baca doa. Jadi, saya harap Peraturan-Peraturan Tetap ini perkara-perkara yang melibatkan atur cara dan susunan majlis mesyuarat supaya tidak kita wujudkan suasana ataupun rasa tidak selesa oleh mana-mana pihak kerana selama ini ianya tidak berbangkit.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mengenai Teras Kedua: Pembangunan Ekonomi...

Speaker

Yang Berhormat, tinggal dua minit.

Ok. Terima kasih Datuk Speaker, saya rasa dua minit boleh, betul ada dua keping aje lagi, seminit-seminit. Teras Kedua: Pembangunan Ekonomi Yang Berhormat dalam Teras Kedua kita ada dimaklumkan dalam pembentangan bajet tentang Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor. Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor. Pesatnya pembangunan negeri Johor ini memerlukan tenaga kerja yang mahir, tenaga mahir berkemahiran dan berpendapatan tinggi itu yang kita harapkan. Tetapi Yang Berhormat, dekat Johor ni Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ada SMI, kita ada PUSPATRI, kita ada Johor Skill Centre, kita ada PUJB itu tak masuk lagi GLC-GLC lain yang menjalankan latihan dan job matching daripada agensi pusat, daripada agensi negeri tetapi akhirnya, pelabur-pelabur yang nak datang ke Johor ini bertanya mungkin YB EXCO Pelaburan nanti mungkin boleh jelaskan, kenapa masih banyak industri yang nak datang bertanya, cukup tak pekerja yang ada di negeri Johor? Apakah skill yang ada kepada pekerja-pekerja di negeri Johor? Jadi ini antara perkara-perkara yang saya rasa tak sepatunya berlaku di negeri Johor. Maka itu Yang Berhormat Datuk Speaker, Benut mencadangkan supaya agensi-agensi ataupun pihak-pihak yang menjalankan latihan untuk pekerja dan sebagainya biarlah ada satu agensi tunggal, SMI ke, Johor Skill ke, satu sahaja agensi dan yang lain-lain boleh menyokong usaha agensi berkenaan. Ini amat penting bagi

tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pelabur-pelabur yang nak datang ke negeri Johor.

Dan akhirnya sekali Yang Berhormat, mengenai Teras Ketiga: Agenda Maju Johor tentang jaringan perlindungan sosial ni. Alhamdulillah banyak perkara yang nak dibuat melalui YPKDT, melalui KEMAS dan sebagainya. Cuma saya nak menambah, Benut nak mengesyorkan satu perkara Yang Berhormat iaitu Pusat Celebral Palsy yang ada di Johor dah 56 tahun Yang Berhormat dia telah melatih pelajar seramai hari ini ada 60 lebih, itu tak termasuk di bengkel yang lebih daripada umur 17 tahun, ada lebih 25 orang yang berada di bengkel tetapi jawatankuasa yang menguruskan Pusat Celebral Palsy seperti sebuah sekolah terpaksa meminta sedekah, terpaksa meminta derma daripada pelbagai sumber. Jadi, Benut mencadangkan supaya kenapa tidak kerajaan negeri mengangkat cadangan supaya Pusat Celebral Palsy ini jadi sekolah kerajaan (Dewan bertepuk). First in the country. Johor kan selalu nak jadi first, ini juga boleh menjadikan Johor sebagai first in the country untuk menjadikan Pusat Celebral Palsy ini sebagai satu pusat yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

Jadi itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas peluang yang diberikan dan saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas pembentangan bajet yang komprehensif dan saya percaya kalau kita bagi skala 1 hingga 10, pada tahun 2024 ini Yang Amat Berhormat tidak akan mencapai kurang dalam 8. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Tahniah Benut. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan Persidangan ini untuk 10 minit ya, jadi kita masuk balik pukul 3.45.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.35 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3.45 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Perbahasan disambung semula. Dijemput Layang-Layang.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Bacaan doa.) Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran saya ke hadrat Allah SWT kerana dapat berada dalam Dewan yang mulia ini dan seterusnya berbahas untuk membahaskan ucapan belanjawan yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa pembukaan Dewan yang lalu.

Pertamanya, saya juga ingin juga merafakkan sembah saya, ucapan sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas hari keputeraan, ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023 dan saya ingin juga merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di atas pemilihan yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan dikurniakan taufik dan hidayah serta inayah pemeliharaan dari Allah SWT dan bertambah-tambah kemuliaan.

Di samping itu juga, saya ingin merakamkan rafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim memenangi kejuaraan bola sepak di peringkat Piala

Super, Piala Liga Super, Piala Malaysia dan seterusnya kejayaan-kejayaan yang akan datang, insya-Allah Piala Malaysia yang akan dilaksanakan, dilangsungkan pada hari akhir tahun ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor, Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama. Semoga pengurniaan ini akan menambahkan lagi kegigihan dan semangat Yang Berhormat Dato’ untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang maju bersesuaian dengan slogan ‘Maju Johor’.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, beberapa garis panduan telah diberikan oleh alim ulama khususnya untuk menjadi sebuah negeri yang maju ada beberapa ciri:

1. Hendaklah penduduknya itu patuh kepada perintah Allah SWT, patuh dan taat kepada perintah Allah SWT.

2. Hasil negerinya tinggi ataupun ekonominya berkembang.

3. Disiplin pegawai dan penjawat awam sangat tinggi dari segi sudut pengurusan.

4. Pendidikan di dalam negeri itu baik dan merata.

5. Angka pengangguran di negeri itu rendah.

Dan yang terakhir negeri itu bersih. Ini disebutkan oleh para cendekiawan ataupun ulama Islam.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di dalam ayat yang saya bacakan di permulaan perbahasan saya tadi, Allah berfirman yang bermaksud, “mereka ini akan ditimpa kehinaan dan juga kemiskinan melainkan mereka menjaga hubungan dengan Allah dan juga hubungan sesama manusia”. Maka, di dalam perbahasan kali ini sebagaimana yang dibentangkan belanjawan oleh Yang Amat Berhormat saya lihat kedua-dua unsur hubungan ini tadi iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia memang ada dan begitu juga dari sudut ciri-ciri sebuah negeri maju itu ada disebutkan oleh alim ulama ada persamaan. Cuma ada sedikit penambahbaikan yang ingin saya cadangkan kepada pihak kerajaan menerusi strategi tadbir urus kerajaan melalui inisiatif yang ketiga iaitu menambahbaik perkhidmatan di kaunter Pejabat Tanah dengan lebih efisien.

Saya ingin mencadangkan soalan ini banyak selalu diajukan kepada saya walaupun bukan datangnya daripada kawasan saya tetapi saya juga menerima pandangan-pandangan mereka supaya diwujudkan satu pasukan task force untuk menyelesaikan isu-isu permohonan tanah yang tertangguh lama. Kita sedia maklum sebagaimana yang dibentangkan di dalam belanjawan bahawa hasil negeri daripada cukai tanah ini jumlahnya iaitu RM89%, 89.64% daripada RM1.804 bilion hasil negeri, makna daripada cukai tanah. Maka dengan sebab itu salah satu daripada usaha kerajaan pada hari ini untuk menambahkan lagi hasil daripada kutipan cukai tanah sama ada cukai tahunan atau pun premium, bayaran yang dikenakan kepada kurniaan pengurniaan tanah saya rasa perlu kita wujudkan satu pasukan task force oleh pihak Tanah dan Galian sama ada di peringkat negeri, peringkat daerah untuk menyelesaikan masalah tanah-tanah permohonan yang masih tertunggak.

Saya dapat makluman ada setengah pemohon ini tadi telah mengusahakan lebih daripada 30 tahun. Tanah ini tadi diusahakan permohonan mereka ini tidak diluluskan, satu. Yang kedua ada yang tanah mereka ini telah pun diusahakan dan telah mendapat kelulusan namun mereka tak bayar premium notis 5A tidak bayar, sampai sekarang. Dan ada yang

menunjukkan kepada saya resit daripada tahun 1974. Tuan-tuan cuba bayangkan, kenapa perkara ini boleh berlaku mereka tak bayar premium sedangkan pada ketika itu kalau kita nisbahkan pada hari ini bayaran premium itu hanya sekitar RM270.00

Jadi, sekarang ni nilai tanah tu dah tak boleh dinilaikan dengan RM270.00 tapi tidak ada follow up macam mana kita kesan mereka-mereka ini. Dan, ada juga di tempat saya kelulusan tanah berkelompok iaitu dipanggil sebagai RA ya, kelulusan berkelompok jumlahnya 300 lebih dan diluluskan hanya lebih kurang 200 sahaja yang dah bayar premium dan 100 lebih ini mereka dapat hasil tak bayar premium, tak bayar cukai tahunan. Saya ingat kalau perkara ini, di tempat tuan-tuan pun ada berlaku saya rasa perkara ini dapat diselesaikan. Sebagai contoh tuan-tuan permohonan tanah yang masih lagi tertunggak tak dapat diselesaikan dan mereka telah pun ada setengahnya menanam semula kelapa sawit, iaitu di Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Paya, Kampung Parit Salam, Kampung Parit Penghulu, Parit Salman, Kampung Datuk Ibrahim Majid dan sekitarnya banyak.

Kalau saya sebutkan puluhan kampung, Parit Basri, Parit Ghani banyak dan salah satu perkara yang menyebabkan kesukaran mereka ini nanti bila tanah ini tak ada hak milik, tak ada geran, mereka nak buat tanaman nak buat pinjaman loan, di bank atau pun nak mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian mereka tak dapat sebab tak ada hak milik. Ini saya rasa lebih penting juga tuan-tuan, sebab ini adalah hasil kepada kerajaan negeri. Terima kasih kepada Pentadbir Tanah Daerah Kluang sekarang ini dan sebelum-sebelumnya kerana banyak membantu saya untuk menyelesaikan perkara-perkara ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di dalam ucapan belanjawan juga Strategi Ke-3 iaitu memperkasa Institusi Akar Umbi. Saya ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana telah memperkenalkan satu bentuk mesyuarat penyelarasan di kawasan saya di kawasan Machap, kawasan Simpang Renggam, dan juga Layang-Layang iaitu menjemput ketua-ketua jabatan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat, pegawai daerah, ketua-ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim dan juga ketua-ketua kampung dan juga ketua-ketua cawangan di kawasan Simpang Renggam ini untuk bermesyuarat untuk menjalani permasalahan dan dapat kita dapat menyelesaikan masalah mereka itu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka itu dengan lebih tuntas.

Selain daripada itu juga saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat kerana telah menyerahkan semula penyeliaan, penyelenggaraan parit di kawasan pertanian di kampung-kampung diserahkan semula kepada pihak JPKK di samping adanya penyeliaan daripada pihak Jabatan Parit dan Saliran kerana sebelum-sebelum ini pernah diambil alih teruskan kepada pihak JPS namun masalah banjir tak dapat diselesaikan, jadi kita lihat kembalikan perkara ini kepada JPKK mudah-mudahan perkara ini tidak lagi berlaku masalah banjir di kawasan-kawasan pertanian khususnya di kampung-kampung.

Strategi yang Ke-5 iaitu mengukuhkan tadbir urus syiar Islam. Saya sebutkan tadi salah satu ciri negeri yang maju ini rakyatnya, pemimpinnya taat dan patuh kepada perintah Allah. Satu program yang sangat baik sebelum ini kita Program Membudayakan Al-Quran, kali ini kita ada Program Semarak Subuh. Kalau tuan-tuan tengok di masjid-masjid kita di negeri Johor Program Semarak Berjemaah ini yang tuan-tuan tengok waktu apa yang paling ramai, waktu Maghrib dan waktu Isyak. Saya pernah berada di Mekah Al Mukarramah berguru dengan seorang guru saya dulu, duduk dalam masjid pada ketika itu tragedi 11 September ya, apabila bangunan World Trade Centre itu dibom, dilanggar kapal terbang, dilanggar dengan kapal terbang semuanya menuding bahawa yang melakukan itu adalah pengganas Islam.

Jadi, saya bertanya kepada guru saya, sampai bila agaknya orang-orang ini akan menuduh bahawa ini adalah kerja orang Islam, terrorist orang Islam. Dia kata mereka tidak akan menuduh kita yang melakukan perkara itu sekiranya masjid-masjid kita penuh masa solat Subuh sama seperti penuhnya waktu solat fardu Jumaat, tuan-tuan tengok. Jadi, Program

Semarak Subuh ini tuan-tuan sebenarnya kita lihat solat berjemaah yang paling afdal itu bukan waktu Maghrib, waktu Isyak, waktu Subuh dan di kalangan waktu Subuh pulak di antara waktu Subuh itu, waktu Subuh yang mana paling afdal iaitu Subuh Jumaat.

Jadi, mudah-mudahan Program ini nanti selain daripada usaha-usaha yang disebutkan oleh Yang Berhormat Benut usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi kita ini bermacam-macam yang disebutkan kita kena juga sebab kita tak boleh putus hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia. Kita tidak boleh mendapatkan keredaan manusia tanpa terlebih dahulu mendapatkan keredaan Allah SWT.vSurah itu kita diperintahkan untuk sentiasa meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Melalui program ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, cuma ada sedikit penambahbaikan yang saya nak di dalam Program Semarak Subuh ini biasa mungkin lepas solat Subuh ya, saya nak minta supaya imam-imam kita tempat yang kita akan laksanakan Program Semarak Subuh ini mereka membaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang kedua mereka membaca surah tul Al-Insan. Ini salah satu perkara yang perlu kerana ini ada sunnah, kita menghidupkan solat Subuh berjemaah, waktu Jumaat ditambah lagi dengan sunnah yang lain iaitu membaca surah As-Sajadah dan juga surah Al-Insan. Moga panjanglah sikit solat pada ketika itu, mungkin ada yang tak pernah terlupa nak sujud Sajadah mungkin terus pelik, ini pak imam salah ni, kata dia ni, belum rukuk terus sujud, dia kata.

Jadi, selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak menambah juga ada satu lagi program sebab kalau kita nak beribadah, ini kita kena sampai kepada Allah SWT sampai timbul keyakinan kita dan yakin dengan penuh keyakinan (potongan ayat al-Quran), “ Kamu kena menyembah Allah SWT sehingga betul-betul menguatkan keyakinan kamu, keimanan kamu kepada Allah SWT”. Iaitu selepas solah Subuh itu mungkin boleh diadakan kuliah Subuh ataupun selepas itu diadakan bacaan zikir Asma’ul Husna dan juga Ratib Al-Attas kerana di dalam DUN N27 Layang-Layang semasa saya menjadi Wakil Rakyat pada mula-mula saya Penggal Yang Pertama saya menjadi Wakil Rakyat saya telah pun melancarkan program dan mentauliahkan mereka-mereka untuk menjadi Naqib untuk membimbing mereka membawa zikir Asma’ul Husna dan juga zikir Ratib Al-Attas.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya 17 tahun berkhidmat di Jabatan Agama Islam Negeri Johor mungkin ada setengah-setengah negeri lain kalau kita tengok tuan-tuan akan bertanya kepada kita apa beza Majlis Agama Islam Negeri dan Lembaga Zakat Negeri kerana negeri lain sebagai contoh negeri Kedah dah ada contoh dia ada Lembaga Zakatnya sendiri. Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dia memisahkan Majlis Agama Islam dan juga Lembaga Zakat. Jadi mungkin juga ada cadangan saya untuk tadbir urus dan juga segi pengurusan zakat yang lebih baik sampai penyampaiannya kepada mereka yang memerlukan khususnya asnaf-asnaf, mungkin saya boleh cadangkan supaya di negeri Johor ini juga diwujudkan Lembaga Zakat Negeri Johor.

Selain daripada itu untuk menambahbaikan tadbir urus negeri Johor khususnya di dalam di Majlis Agama Islam Negeri Johor lebih 50% pegawai-pegawai yang berkhidmat di Majlis Agama Islam Negeri Johor itu adalah kakitangan kontrak. Ramai yang mengadu kepada saya dia kata Yang Berhormat boleh tak bantu kami, sampaikan suara kami bila kami nak tetap. Takkan sampai pencen, kami tak dapat tetap. Saya kata awak tetap tapi tak berpencen, awak tetap sampai pencen. Mungkin kita boleh wujudkan skim, dulu masa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama saya pernah mengesyorkan kepada pihak pentadbiran supaya diwujudkan kepada mereka ini perjawatan tetap tapi tak berpencen. Mereka membuat potongan KWSP dan sebagainya.

Jadi, ini sebenarnya ini memudahkan mereka apabila selagi ada nama kontrak ini dan sebagainya ini menyukarkan mereka dari segi pinjaman perumahan dan bermacam-macam lagi jenis pinjaman yang kemudahan-kemudahan yang mereka boleh dapat. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker saya rasa cukup setakat itu, kerana yang lain telah pun disebutkan oleh sahabat-sahabat yang lain, cuma saya ingin bawa perkara yang dalam kawasan saya. Cuma semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama dulu, kita telah pun meluluskan satu projek iaitu Perumahan Transit Bagi Asnaf di Layang-Layang dan sehingga sekarang perkara itu tidak dilaksanakan dan majlis pecah tanah telah pun dilakukan iaitu berhampiran dengan Kompleks Penghulu Mukim Renggam di Kampung Batu 7, Simpang Renggam, sampai sekarang dan saya baru beberapa hari lepas dimaklumkan bila saya nak bawa perkara ini di sini, dimaklumkan bahawa projek itu telah pun dibatalkan. Jadi saya minta pada pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor, khususnya kerajaan negeri Johor melihat semula perkara ini, kerana perkara ini dulu dirancang dan nak diwujudkan tujuannya adalah untuk asnaf-asnaf yang memerlukan rumah dan rumah ini bukan rumah kekal untuk mereka. Rumah ini adalah rumah transit sementara sahaja untuk mereka membina keluarga mereka, meningkatkan ekonomi mereka dan selepas itu mereka boleh memiliki rumah sendiri dengan membeli rumah di tempat-tempat lain. Saya memberikan cadangan, sekiranya tapak itu dikirakan bahawa tapak itu untuk dibangunkan Kompleks Penghulu, di Bukit Nyamuk ada satu kawasan untuk SPKR. Kalau boleh, perkara ini, projek ini dipindahkan ke tapak SPKR yang sedia ada supaya, supaya ianya terus dapat dilaksanakan dan ianya dapat dinikmati oleh asnaf-asnaf yang memerlukan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, satu lagi perkara yang saya nak sebutkan, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan terima kasih saya kepada Yang Berhormat EXCO Perumahan, Dato’ Jafni yang telah datang ke tempat saya untuk menyelesaikan banyak perkara yang berkaitan perumahan KEJORA di samping itu juga perbincangan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat bahawa satu perumahan yang akan, projek perumahan yang akan dilaksanakan di Bandar Renggam. Mudah-mudahan perkara ini akan terlaksana dan dapat dinikmati oleh pembeli-pembeli yang dah lama menunggu. Mereka tak nak beli di tempat lain, mereka tak nak keluar daripada Renggam sebab Renggam ni adalah kawasan yang sangat sunyi dan tenteram bagi mereka. Mereka nak kan perumahan itu berada di kawasan Renggam.

Selain daripada itu tuan-tuan dan puan-puan, saya rasa cukuplah setakat itu apa yang ingin saya sampaikan. Masa pun dah tamat. Mudah-mudahan apa yang saya sampaikan dapat dilihat dan diperhatikan dan diambil tindakan. Selain itu juga saya ingin, sebelum saya akhiri saya ingin merakamkan ucapan terima kasih, penghargaan saya kepada ketua-ketua jabatan khususnya Pejabat Daerah Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam, Pejabat Tanah Daerah, JKR pun banyak bantu isu jalan-jalan yang rosak dan tempat-tempat yang merbahaya, jalan-jalan yang merbahaya di kawasan saya. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Layang-Layang mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. Dijemput Yang Berhormat Perling.

Tuan Liew Chin TongDAP · PHPerling

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, patik mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena pengisytiharan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri Machap atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) oleh Tuanku Sultan baru-baru ini.

Saya mengalu-alukan persahabatan di antara pihak kerajaan negeri terutamanya Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan pihak pengimbang. Saya juga mengalu-alukan kesudian Yang Amat Berhormat Menteri Besar menerima idea-idea yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Pengimbang dalam sesi Pra-Belanjawan. Semoga tahap kerjasama yang lebih erat di antara parti-parti yang menyokong kerajaan perpaduan di persekutuan dapat dicontohi dan dicapai di peringkat negeri Johor demi kemajuan Johor Darul Ta’zim.

Saya dimaklumkan bahawa Ahli Kukup telah menzahirkan rasa bimbang dengan keikhlasan pihak Pengimbang. Prinsip-prinsip kami jelas. Pertama, kita berada dalam satu kerajaan yang sama di peringkat persekutuan. Maka sebanyak mungkin pihak Pengimbang cuba membantu kerajaan negeri yang diterajui parti Barisan Nasional yang juga rakan dalam kerajaan persekutuan. Kedua, di mana rundingan atau usul yang pihak Pengimbang diberi peluang untuk menyumbang idea, kami sedia menyokong. Saya ingin ulangi apa yang telah disebut oleh Ketua Pengimbang tadi bahawa kami sebagai barisan pengimbang Pakatan Harapan tidak ada masalah menyokong rundingan yang dibawa iaitu Belanjawan 2024. Dalam konteks ini, saya setuju dan sambut baik cadangan Ahli Benut bahawa lebih banyak Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas boleh ditubuhkan untuk isu-isu spesifik supaya kita dapat membentuk consensus di antara kerajaan dengan juga ahli-ahli bukan kerajaan dan Ahli-Ahli Pengimbang dan juga mencari penyelesaian yang kita semua setuju dan ini adalah cadangan yang baik Jawatankuasa Perubahan Iklim adalah contoh yang kita boleh, apa ni, lipat gandakan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita berada di ambang era baharu yang berbeza daripada zaman dahulu. Tahun-tahun yang akan datang akan berbeza dengan paradigma 30 tahun yang lalu, 30 tahun lalu iaitu sejak Tembok Berlin dirobohkan pada tahun 1989 sehingga tahun 2020 apabila dunia dilanda pandemik COVID-19. Secara ringkas, tiga perubahan yang ketara dari segi pemikiran ekonomi sedang berlaku dan ini memerlukan lonjakan paradigma sebagai jawapan.

Pertama, logik dahulu ialah pengeluaran mengikut amalan just in time, tetapi sekarang sudah berubah menjadi just in case. Ini bermaksud syarikat-syarikat tidak lagi hanya mementingkan kecekapan dan juga keuntungan, tetapi juga memberi tumpuan terhadap keselamatan rantaian bekalan atau supply chain. Perubahan ini memberi peluang kedua kepada Malaysia untuk sekali lagi membangunkan industri kita selepas mengalami pre-mature deindustrialization sejak penyertaan China ke WTO ataupun World Trade Organization pada tahun 2001. Perubahan ini juga menjadi asas kepada hubungan ekonomi baru di antara Johor dengan Singapura. Kesediaan kerajaan Malaysia dan Singapura untuk membentuk Special Economy Zone, SEZ adalah usaha yang sangat dialu-alukan dan akan memberi suntikan pelaburan kepada Johor serta membantu Singapura menangani kos perniagaan dan kos perumahan. Untuk meraikan kerjasama ini adalah dicadangkan agar kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan bersama kerajaan Singapura menyambut ulang tahun ke-100 Tambak Johor yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Ibrahim pada 28 Jun 1924. Untuk menjayakan SEZ, adalah dicadangkan supaya satu kajian pengangkutan yang menyeluruh dilakukan bersama oleh Malaysia dan Singapura dan merangkumi keadaan pengangkutan rentas sempadan Greater Johor Bahru dengan Singapura kerana sekarang ini kita tidak ada apa ni, traffic study ataupun pelan induk pengangkutan di Greater Johor Bahru dan tidak ada yang merentas sempadan. Apa yang merentas sempadan itu penting supaya memastikan kejayaan SEZ.

Pengangkutan awam di Greater Johor Bahru perlu mempunyai sasaran yang lebih tinggi supaya menjana impak positif untuk rakyat. Saya harap kerajaan negeri boleh menyasarkan 50 peratus perkongsian model atau model share pengangkutan awam di Greater Johor Bahru dalam tempoh 10 tahun. Buat setakat ini kalau mengikut cadangan-cadangan yang sedia ada, ada hanya menyasarkan 15% model share iaitu 15% mengguna apa ini, pengangkutan akan mengguna pengangkutan awam dalam jangka panjang masa panjang.

Tetapi yang penting adalah kita lebih apa ini, bersasar dan lebih bervisi dan berani untuk sasarkan sasaran yang lebih tinggi dan saya cadang 50% penggunaan pengangkutan awam dalam 10 tahun. Ini penting bukan sahaja untuk pengangkutan, tetapi juga penting untuk pelepasan karbon. Yang Berhormat Benut telah dilantik sebagai Johor Sustainability Center, Pengerusi JCS dan saya mengucapkan tahniah. Sebenarnya di dalam negara kita, 37% pelepasan karbon, carbon emissions adalah daripada pengangkutan. Bukan daripada sumber-sumber lain, tetapi daripada pengangkutan dan ini kerana tabiat kita ataupun amalan kita mementingkan kenderaan persendirian. Pembinaan infrastruktur seperti BRT dan LRT harus mengambil kira pergerakan orang ramai di paksi melintang atau horizontal axle dari Pasir Gudang ke Link Kedua terutamanya selepas perkhidmatan RTS bermula. Saya mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM26.5 juta untuk Bas Muafakat Johor, dicadangkan separuh daripada peruntukan ini diguna pakai untuk on demand buses seperti perkhidmatan penempahan melalui apps seperti Kumpool supaya permintaan dan penawaran, suppy and demand boleh diselaraskan. Perkhidmatan feri di antara Pasir Gudang dan Changi, di antara Puteri Harbour dan Tuas, dan di antara Forest City dengan Tuas harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah kenderaan dan seterusnya kesesakan jalan raya.

Lebih banyak usaha diperlukan untuk menyelaraskan pentadbiran di empat PBT di Greater Johor Bahru iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai. Walaupun keempat-empat PBT ini adalah pengurusan yang berlainan, untuk manfaat rakyat dan juga untuk mereka yang datang dari luar negeri, pengurusan Greater Johor Bahru termasuk parking, landscaping, jalan raya, dasar untuk kawasan industri haruslah diselaraskan. Dicadangkan satu portfolio baru bernama Greater Johor Bahru ditambah ke atas tugas-tugas YB EXCO Kerajaan Tempatan supaya memastikan perkembangan pesat yang dijangka akan berlaku di Greater Johor Bahru selepas SEZ ditubuhkan dapat diurus dengan baik. So, nanti YB EXCO Perumahan boleh tambah kerjalah.

Perancangan untuk menjadikan Ibrahim International Business District sebagai Central Business District dan hab perniagaan antarabangsa yang berdaya unik sangat dialu-alukan. Dicadangkan bahawa CBD ini harus memudahkan pejalan kaki, iaitu bersifat walkable dengan kemudahan universal access supaya semua warga kota termasuk OKU dapat berjalan dengan selesa di kawasan ini. Juga dicadangkan bahawa satu kajian oleh pakar perancang bandar, urban planners dilaksanakan terhadap waterfront dari Stulang Laut sehingga ke Danga Bay supaya laluan basikal dan juga laluan pejalan kaki boleh diwujudkan sepanjang lapan kilometer tersebut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, lonjakan kedua ialah bahawa dalam era baru, era baru yang berbeza daripada 30 tahun lalu ialah faktor keselamatan dan keterangkuman ekonomi kini menjadi lebih penting. Economy security and economy inclusivity termasuk memastikan jurang pendapatan dikawal dan dikurangkan. Kita harus sentiasa mengingatkan diri kita bahawa semua langkah dan keputusan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mesti menjurus ke arah menjana pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih berpatutan dan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat tempatan. Saya sebut ini juga ingatan kepada saya sendiri sebagai Timbalan Menteri MITI, saya sentiasa beritahu, berkongsi dengan rakan-rakan dalam MITI dan juga di peringkat kerajaan pusat. Memang kita ingin menarik FDI tetapi FDI yang kita menarik dia perlu ada domestic linkages dia mesti ada hubung kait dengan rantaian bekalan tempatan. Dan dia apa yang kita menarik haruslah menjana pekerjaan untuk rakyat kita dengan gaji yang lebih tinggi dan lebih berpatutan.

Ramai rakyat tidak faham kenapa, walaupun kadar inflasi begitu rendah sekarang, kadar inflasi sangat rendah 1.8% pada bulan Oktober. Tetapi masih ramai rakyat rasa terbeban dengan kos sara hidup. Ini juga fakta, kalau ditanya ramai rasa mereka dibeban dengan kos

sara hidup.Isu pokoknya bukan harga, isu pokoknya kerana tahap gaji rakyat Malaysia terlalu rendah. Kita kena akui bahawa gaji rakyat kita terlalu rendah dan sebagai kerajaan di persekutuan dan juga kerajaan di Johor, kita perlu cuba sedaya upaya untuk meningkatkan gaji rakyat.

Ini harus jadi sasaran ataupun matlamat yang paling penting dalam usaha ekonomi kita, gaji pertengahan, medium wages ini berbeza daripada average wages ya, medium wages Malaysia pada tahun 2022 adalah RM2,424.00 sebulan dan ini bermakna 50% pekerja yang dapat gaji bulanan, gaji dia rendah daripada RM2,424.00. Ini masalah kita, kerana mereka yang bekerja dapat gaji 50% mereka yang bekerja dapat gaji kurang daripada RM2,400.00 dan ini memang gaji yang terlalu kurang di Johor Bahru atau di merata tempat. Dan kita juga faham bahawa gaji pertengahan sektor pembuatan, manufacturing medium wages adalah RM2,205.00 sebulan. Ini beza daripada negara lain, negara lain biasanya manufacturing sector, sektor pembuatan adalah sektor yang bayar paling tinggi di negara lain. Negara lain sektor pembuatan dia bayar paling tinggi kerana biasanya sektor pembuatan memerlukan kemahiran yang tinggi daripada sektor-sektor lain. Dan itu sebabkan gaji dia lebih tinggi daripada sektor-sektor lain dan saya harap Bersama dengan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan boleh melaksanakan secara bersama hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang mempunyai sasaran untuk meningkatkan gaji pertengahan sektor pembuatan dengan kadar pertumbuhan 9% setahun kepada RM4,510.00 pada tahun 2030. Ini sasaran yang telah ditetapkan dalam NIMP dan saya harap kerajaan negeri bersama dengan kerajaan pusat akan mengambil kira sasaran ini dan memastikan semua pelaburan ke Johor mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selari dengan sasaran ini. Satu lagi lonjakan paradigma berkenaan Centralized Labor Quarters (CLQ) atau penginapan pekerja asing. Untuk masa depan kita tidak mahu sektor pembuatan hanya bergantung kepada ramai pekerja warga asing. Maka, kerajaan negeri dan PBT boleh memberi galakan insentif kepada pengurus kawasan industri untuk membina kemudahan penginapan bukan sahaja untuk pekerja warga asing tetapi untuk jurutera dan juruteknik orang tempatan, warganegara. Dan juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak demi menggalakkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi.

Trend ketiga, megatrend ketiga yang berlaku baru-baru ini ialah semakin banyak pihak memahami bahawa bukan semua benda dalam kehidupan boleh diuruskan oleh mekanisme pasaran. Dan risiko own worth financialization perlu ditangani. Salah satu idea yang penting ialah bukan semua orang perlu membeli atau memilik rumah. Saya harap ini idea yang boleh kita kongsikan, kita cuba menyerap idea ini dalam dasar kita.

Paradigma dulu ialah semua orang perlu memilik rumah. Pemilikan rumah dijadikan sasaran dan kita bina, kita menggunapakai dana awam dan juga dasar-dasar kita untuk mewujudkan rumah dan dimiliki oleh semua orang termasuk yang paling miskin. Tetapi falsafah pembangunan perumahan kita harus beralih kepada pemilikan rumah kepada penghunian. Rumah tu untuk dihunikan tetapi adakah dia milik atau tak milik ataupun dia milik separuh, dia sewa beli itu sebenarnya bukan isu yang paling penting.

Kalau kita boleh berubah paradigma kita bahawa bukan semua perlu memilik, maka kita akan membuka ruang untuk lebih banyak cara untuk memastikan rakyat kita dapat rumah yang selesa walaupun dia milik atau sewa atau sewa beli semua tak penting, yang penting dia dapat menghunikan rumah yang selesa. Pilihan untuk menyewa bukan hanya untuk mereka yang miskin. Mereka yang mampu boleh memilih untuk memilik rumah, majoriti yang lain boleh menyewa. Di Eropah, biasanya 60% sampai 70% penyewa. Yang memilik mungkin 20%, 30%. Penyewaan oleh kelas pertengahan, dulu kita anggap yang sewa tu orang miskin itu paradigma kita, hanya yang miskin nak sewa yang lain perlu memilik, tapi sebenarnya penyewaan oleh kelas pertengahan, middle class terutamanya golongan muda akan membantu memenuhi keperluan perumahan. Penyempurnaan proses dan perundangan untuk melindungi hak kedua-dua pihak (pemilik dan penyewa rumah) harus

diberikan tumpuan. Dicadangkan satu enakmen sewaan rumah dirangka. Dengan perlindungan enakmen dan tumpuan terhadap penyewaan, kawasan-kawasan yang mempunyai lebihan stok perumahan seperti Forest City boleh dihuni oleh lebih ramai orang.

Saya difahamkan Forest City ada 20 lebih ribu unit yang sebenarnya kalau disewa kepada orang ramai memang banyak, ramai akan dapat rumah yang boleh disewa. Dan saya juga faham daripada ramai pegawai-pegawai dari kerajaan pusat, ada pegawai Polis, ada pegawai Imigresen, ada pegawai KASTAM, mereka ramai tidak ingin bertugas di Johor Bahru kerana kos sewa rumah sangat tinggi. Ada yang beritahu, saya difahamkan bahawa di kawasan Polis Iskandar Puteri, ada 700 lebih pegawai, pegawai dan juga lain-lain pangkat tetapi rumah kuarters hanya 95 unit dan ini adalah isu yang saya rasa kita boleh selesai dengan ada pasaran sewaan yang lebih menyeluruh, pasaran sewaan yang lebih kukuh.

Akhirnya berkenaan dengan kenaikan cukai taksiran, saya hanya ikut ataupun ulangi apa yang dicadangkan Ketua Pengimbang, sebarang kenaikan cukai taksiran yang dikenakan kami cadang, pihak kami cadang untuk setiap hartanah tidak boleh melebihi 15% supaya kita tidak jadi apa ni jadikan kejutan kepada mereka yang memilik unit-unit hartanah yang di apa ni dipaksa membayar 300%, 400% tambahan atau cukai taksiran.

Akhirnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, negeri Johor rakyatnya sejahtera, Darul Ta’zim indah namanya, kerjasama amalannya, setara budaya baik mulia adanya. Terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Perling. Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik serta seluruh warga DUN Parit Raja merakamkan ucapan selamat hari keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Negeri Johor Darul Ta’zim pada 22 November yang lalu. Patik dan seluruh warga DUN patik juga merafak sembah merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Negeri Dan Jajahan Johor Darul Ta’zim sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik dan seluruh warga DUN Parit Raja berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta berada dalam keafiatan agar terus dapat menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian. Daulat Tuanku.

Patik juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada pasukan JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tuanku Sultan, Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Mudah-mudahan dengan kejayaan ini akan dapat terus memberi inspirasi kepada orang muda Johor dan seterusnya anak-anak di seluruh negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan kesyukuran di atas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang penuh keazaman dan iltizam untuk terus memacu pembangunan dan menyejahterakan rakyat. Tahniah Parit Raja ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta barisan EXCO yang ditunjangi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor yang telah berganding bahu dalam usaha menyediakan Belanjawan Negeri Johor. Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2024 ini bersifat terus memacu pembangunan, meningkatkan ekonomi, inklusif dan mampan agar

dapat terus berdaya tahan ketika saat berdepan dengan ekonomi yang semasa ini berada dalam keadaan yang sangat-sangat mencabar.

Kerajaan negeri Johor yang telah diberi mandat ini mestilah terus mengupaya dan mencorak kesejahteraan rakyat negeri Johor dengan lebih baik. Ini adalah salah satu usaha menyambung kesinambungan kejayaan dan pembangunan yang telah pun dilaksana. Justeru Parit Raja berpandangan bahawa pendirian Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memberi fokus merancakkan pembangunan ekonomi dan menyejahterakan negeri adalah amat bertepatan. Strategi Belanjawan Negeri Johor selari dengan agenda Maju Johor yang ditunjangi 6 Teras, 29 Strategi, disokong 99 Inisiatif yang ampuh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja memberi fokus kepada Teras Keenam, Orang Muda Johor. Di bawah agenda Maju Johor, perhatian serius sentiasa diberikan kepada pembangunan belia atau Orang Muda Johor yang dinaungi oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Dalam memastikan masa depan generasi muda Johor sentiasa diberikan ruang dan peluang agar terlibat secara langsung dalam usaha-usaha membawa kemajuan di negeri Johor. Secara keseluruhannya, keenam-enam teras yang telah digariskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kerajaan negeri adalah amat berkait rapat dan dekat di hati orang muda Johor. Ini adalah kerana golongan anak muda inilah yang akan menjadi antara pelaksana dan penerima manfaat-manfaat terhadap dasar-dasar kerajaan. Realitinya di Johor, orang muda diletakkan sebagai satu teras bagi merealisasikan Maju Johor. Hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor begitu tinggi agar orang muda Johor berupaya meletakkan diri mereka setanding di peringkat nasional dan global. Maka dengan itu, bukan sahaja hasrat ini perlu disambut oleh anak muda, namun apa yang lebih penting ialah tadbir urus yang melibatkan pelbagai agensi yang bertanggungjawab perlu menggembleng tenaga merealisasikan 6 strategi dan 10 inisiatif untuk orang muda Johor yang bakal dilaksanakan tahun 2024.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, setiap strategi dan inisiatif yang telah digariskan di setiap 6 Teras Maju Johor telah menyentuh isu-isu yang dekat di hati orang muda. Seperti pembangunan kemahiran dan peluang program dan kursus-kursus kepimpinan, peluang perniagaan, perusahaan kecil, sederhana, pertanian dan penternakan, pembangunan sukan dan kebudayaan, pembangunan infrastruktur yang seimbang, mampan dan berdaya tahan hak pemilikan hartanah dan perumahan, infrastruktur, jaringan internet, bekalan air dan tenaga.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, inisiatif pertama dalam strategi pertama iaitu Program Kemahiran Kepimpinan Melalui Institut Dato’ Onn (IDO) diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan program kemahiran kepimpinan. Parit Raja melihat kebelakangan ini kerajaan negeri banyak melakukan usaha-usaha namun, sebenarnya berapa ramaikah di kalangan anak-anak dalam kawasan wakil rakyat ataupun Ahli Dewan Negeri yang telah dapat terlibat dalam program-program kemahiran yang telah diumumkan? Adakah satu data yang boleh menunjukkan keabsahan anak muda yang dilibatkan ini adalah anak jati Johor dan dari kawasan DUN mana daripada 56 kawasan DUN dalam negeri Johor. Ataupun adakah Ahli-Ahli Yang Berhormat pernah dimaklumkan sekiranya anak muda daripada kawasan mereka ini telah mendapat manfaat dari apa yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Mengapa ini penting? Kerana anak muda yang terlibat adalah merupakan ikon yang boleh membantu masyarakat setempat dalam bidang kepakaran mereka dan supaya keseluruhan anak muda Johor dari merata daerah dan kampung berpeluang mengikuti kursus-kursus kepimpinan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Dan juga sebagai salah satu langkah mempromosi bahawa sebenarnya dasar kerajaan negeri telah memberikan manfaat kepada rakyat di merata bandar dan desa.

Selain itu, ia juga diharap pelajar-pelajar yang terlibat memberikan manfaat pulangan kepada kerajaan negeri, membantu menambah baik dan mengkaji dasar-dasar dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang sedia ada. Oleh yang demikian, jika Parit Raja ingin menimbulkan pertanyaan dan persoalan, berapa ramai golongan muda yang telah terlibat dan berjaya dalam perusahaan kecil dan sederhana? Berapa ramai anak muda dari kalangan umur bawah 40 tahun yang telah berjaya mendapatkan bantuan-bantuan daripada PKS, pertanian dan penternakan ataupun industri asas tani. Berapa ramai anak muda yang telah mendapat manfaat dari pembangunan sukan dan kebudayaan? Ini semua telah diperjuangkan oleh kerajaan negeri tetapi kita seolah-olah tiada satu data yang membuktikan benar-benar program ini telah berjaya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam usaha memupuk kemahiran berfikiran tinggi, memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dalam penyelesaian masalah bekerja dalam pasukan dan penerapan minat dalam konsep STEM dalam projek-projek praktikal. Parit Raja ingin mengemukakan cadangan agar kerajaan negeri memberikan perhatian khusus dan menyalurkan satu peruntukan khas bagi menyemarakkan program berkaitan STEM di peringkat sekolah menengah harian dan sekolah rendah. Ianya bagi membuka ruang dan peluang pelajar pelbagai peringkat untuk terlibat secara langsung dan memberi galakan agar pelajar dapat menyerlahkan bakat meneroka inovasi baru memahami dunia sains teknologi kejuruteraan dan matematik dengan cara yang interaktif dan inovatif. Mereka merupakan aset negeri yang paling berharga dan amat wajar diberikan peluang lebih awal bermula dari sekolah rendah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui teras orang muda Johor juga diberi perhatian khusus usaha membina dan menaik taraf pusat rekreasi dan sukan. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebenarnya banyak lagi gelanggang-gelanggang futsal yang masih dalam keadaan uzur di kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. (Dewan bertepuk). Lebih memburukkan keadaan, gelanggang menjadi rosak teruk apabila negara dilanda pandemik yang menyebabkan PKP. Tidak pasti apakah ada lagi peruntukan membaik pulih gelanggang futsal dari Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia. Di mana dilaksanakan, apa perkembangan terkini, berapa yang telah selesai dan berapa yang belum selesai? Jadi bagaimana anak-anak muda kita hendak beraktiviti di kawasan masing-masing? Oleh yang demikian, Parit Raja berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari pihak KBS. Bagi taman-taman perumahan yang baru dibina pula, Parit Raja mencadangkan pemaju hendaklah menyediakan kemudahan gelanggang futsal ini sebagai satu keperluan yang sangat-sangat penting bagi menyokong usaha pembangunan sukan yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sehubungan dengan itu juga, Parit Raja juga amat berharap agar pembinaan sebuah kompleks sukan di Taman Pura Kencana, Sri Gading, Parit Raja yang telah digazetkan tanahnya agar dapat diberi perhatian dan sangat berkeperluan tinggi kerana pertambahan dan kepadatan penduduk di dalam daerah Batu Pahat dan infrastruktur kemudahan awam ini adalah amat wajar disediakan untuk rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bercakap mengenai pembangunan sukan ini juga tidak dapat dinafikan perkembangan dan latihan awal bermula sejak pendidikan prasekolah dan sekolah rendah. Di sinilah bermulanya pembangunan sukan dan pengukuhan latihan serta penglibatan dalam pertandingan dapat menyerlahkan lagi bakat dan potensi sebenar mereka. Merujuk kepada pencapaian dan kejayaan pelbagai jenis sukan, sekolah rendah dan menengah di pelbagai peringkat kebanyakan dari penggiat-penggiat pembangunan sukan ini sering kali menghadapi permasalahan kekurangan dana, terutamanya untuk menyertai pertandingan di peringkat yang lebih tinggi. Sebab itulah Ahli-Ahli Yang Berhormat sering mendapat surat-surat permohonan dana dari persatuan-persatuan ini. Namun, kita amat berterima kasih kerana Ahli-Ahli Yang Berhormat kita sentiasa berjiwa rakyat memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan menyalurkan peruntukan

kepada persatuan yang terlibat. Pembangunan sukan bermula dari pendidikan pra dan rendah. Perlu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dari segi peruntukan dana agar dapat melonjakkan pembangunan sukan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja mengambil ruang untuk mengemukakan cadangan agar mendapat pertimbangan untuk dijayakan. Negeri Johor mempunyai keazaman atas usaha-usaha yang dilakukan bagi memastikan setiap keluarga di Johor mempunyai sama ada seorang graduan atau mempunyai seorang yang berkemahiran tinggi atau sekurang-kurangnya memiliki sijil kemahiran SKM melalui pendidikan kemahiran. Ianya amat penting bukan sahaja untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan memberi impak mengecilkan kadar kemiskinan sebagaimana yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Inisiatif yang telah dibentangkan dalam Belanjawan kali ini semuanya dilihat berimpak tinggi. Sedangkan ramai lagi anak muda di luar sana yang menanti dan memerlukan kemahiran. Oleh yang demikian, Parit Raja mencadangkan kerajaan negeri memperbanyakkan kursus hingga tahap sijil kemahiran SKM yang amat bermanfaat kepada mereka yang berminat menjadi usahawan melalui kolej-kolej komuniti atau kelas kemahiran KEMAS yang terdapat di seluruh kawasan DUN. Sehubungan dengan itu, kelas-kelas kemahiran juga diharap dapat dinaik taraf dan ditambah baik agar dapat memenuhi keperluan lebih ramai peserta sebagai penerima manfaat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Parit Raja menyambut baik inisiatif dan pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan dalam memperkasa perumahan rakyat. Namun, apakah inisiatif-inisiatif baru yang ditawarkan khasnya kepada golongan muda untuk memiliki rumah pertama? Dan sekian lama isu perumahan ini diperjuangkan untuk orang muda, sebenarnya berapa banyak orang muda yang telah berjaya memiliki rumah yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Johor. Adakah strategi memperkasa perumahan rakyat ini telah mencapai sasaran dalam membantu golongan muda? Parit Raja juga berharap tawaran baru dapat diberikan kepada rakyat Johor khasnya anak muda untuk memiliki rumah pertama.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu yang membelenggu rakyat khasnya ketua keluarga ialah kenaikan harga barang. Isu berkaitan krisis kenaikan harga barangan, kekurangan beras putih tempatan termasuklah kenaikan harga barangan mentah dan barangan asas yang lain. Isu ini menimbulkan kebimbangan dan kegusaran orang ramai dan juga peniaga kecil. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2022, kuasa beli pengguna dilaporkan akan terus menurun pada bulan-bulan mendatang, berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan. Oleh yang demikian, apakah langkah dan usaha kerajaan negeri untuk mengawal kenaikan mendadak harga barang khususnya barangan keperluan rakyat? Kerajaan negeri perlu merangka pelan bagi mengawal kenaikan harga barangan pengguna agar bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna tetapi memacu ekonomi agar terus berdaya saing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga ingin menyentuh beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dan pertimbangan untuk dilaksanakan. Perkara yang secara langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya di kawasan Parit Raja dan daerah Batu Pahat. Menginsafi dan mengambil iktibar serta panduan daripada insiden-insiden banjir yang melanda negeri Johor khasnya di daerah Batu Pahat. Jangan sesekali kita memandang rendah permasalahan akibat banjir. Kerana ia menyebabkan kerosakan, kemusnahan, kerugian harta benda yang tidak dapat galang gantinya. Terima kasih kepada Pejabat Daerah, agensi-agensi, jabatan kerajaan yang telah membantu. Namun, usaha tidak boleh berhenti. Maka Parit Raja ingin mengemukakan beberapa cadangan yang telah diangkat oleh pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran, namun masih belum mendapat maklum balas. Iaitu, rancangan tebatan banjir bagi kawasan Parit Botak Fasa Pertama. Kerja-kerja membina dan menyiapkan infrastruktur mekanikal dan elektrikal bagi kawasan banjir di

Kuala Senggarang dan Parit Bintang bagi melindungi kawasan berisiko banjir di kawasan Parit Karjo. Lencongan banjir yang melibatkan Parit Botak, Parit Kuda dan Sungai Senggarang bagi melindungi kawasan banjir dalam kawasan DUN Parit Raja. Kerja-kerja menggali dan mendalamkan muara Parit Botak dan Parit Karjo. Dan perancangan menaik taraf sistem pengairan dan saliran antara pihak Genting bersama JPS dan PBT untuk melindungi kawasan di sekitar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya cuba habiskan. Kerja-kerja menaik taraf FT050 yang sedang giat dilaksanakan melibatkan kawasan Parit Raja. Namun apa yang berlaku bukan sahaja saban hari banyak aduan. Apa yang berlaku hari ini kejadian banjir kilat pula termasuklah di persimpangan traffic light Pekan Parit Raja. Parit Raja mencadangkan agar kerja-kerja penaiktarafan jalan FT050 ini dapat melindungi kawasan terlibat dari keadaan kejadian banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker akhirnya, bagi merealisasikan Belanjawan Johor, marilah kita berganding bahu untuk memastikan kita dapat bersama-sama merealisasikan agenda Maju Johor. Hormat-menghormati tunjang kekuatan kita, muafakat membawa berkat, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sekian Parit Raja menyokong Belanjawan 2024. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatu. (Dewan bertepuk.)

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan, Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari esok, 27 November 2023, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.