Johor · 27 November 2023

2nd session, 4th meeting · 115 turns · 34,845 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, ada pihak yang bertanya kepada saya, kenapa di dalam Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor tidak membenarkan pencelahan. Sukacita saya maklumkan bahawa keutamaan kepada Dewan Negeri Johor adalah kualiti yang terbaik untuk sidang Dewan Negeri Johor. Dan juga kita buat perbandingan di Senat Amerika, tidak berlaku pencelahan, tidak ada pencelahan semasa mereka berbahas. Bahkan, saya sudah beberapa kali menyertai dan masuk ke sidang Parlimen United Kingdom, tidak juga ada sebarang pencelahan, selain mereka mengekalkan tradisi menggunakan perkataan “yeay” yang bermaksud bersetuju. Dan Speaker hanya berkata “order, order, order” untuk memastikan Persidangan berjalan dengan lancar.

Sebab itu apabila saya mengikuti perbahasan di Parlimen United Kingdom baru-baru ini terutama dalam tempoh seminggu, mereka banyak berbahas isu Palestin. Ahli-Ahli Parlimen UK yang mempertahankan Palestin tidak pernah diganggu pun ketika berucap. Sebab itulah tuan-tuan bayangkan semalam ketika Sri Medan, Kukup berucap, kalau diganggu, dicelah, sudah tentulah masa mereka terbuang untuk menyampaikan mesej yang lebih penting, yang pada saya terlalu penting untuk dibawa dalam Dewan ini. Terima kasih.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib Bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Assalamualaikum dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.

Adakah Kerajaan Negeri Johor merancang untuk menambah lagi Taska Jauhar Childcare Center (JCC) yang dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim lebih dari satu bagi setiap daerah. Ianya dilihat dapat membantu meringankan beban golongan B40 khususnya.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Parit Yaani.

Soalan yang ditujukan kepada saya adalah, adakah Kerajaan Negeri Johor merancang untuk menambah bagi Taska Jauhar Childcare Center (JCC) yang dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim lebih dari satu bagi setiap daerah. Ianya dilihat dapat membantu meringankan beban golongan B40 khususnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim memberikan komitmen tinggi terhadap pembentukan modal insan dan menyediakan kemudahan pengasuhan serta pendidikan awal kanak-kanak, selain

menyediakan ruang dan peluang kepada mereka yang memerlukan perkhidmatan ini. Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting yang menjadi aset negara dan menyumbang nadi pembangunan negara pada masa akan datang.

Oleh itu, YPKDT mula menubuhkan taska di tempat kerja bagi membantu penjawat awam dari pelbagai jabatan yang mempunyai anak agar dapat menggunakan kemudahan dan perkhidmatan Taska YPKDT sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Ketiga, bertarikh 26 Januari 1999 serta merujuk kepada Pelan Tindakan Pembangunan Wanita bagi Negeri Johor 1997-2001:

-Wanita dan Keluarga - Wanita dan Pekerjaan

Selain menyediakan perkhidmatan alternative care dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker kepada anak-anak, ianya merupakan kemudahan sokongan bagi membantu wanita berkerjaya dalam mendapatkan jagaan anak-anak dengan pengawasan yang lebih baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 di bawah Teras 8: Pesona Wanita dan Idealis Anak Muda, Dasar PM2: Kesejahteraan dan Keseimbangan Hidup Wanita iaitu dengan meluaskan sokongan bagi wanita berkerjaya dengan mensasarkan penubuhan 11 buah taska di bawah YPKDT menjelang 2030.

Justeru itu Yang Berhormat Datuk Speaker sehingga tahun 2023, YPKDT telah menubuhkan 4 buah JCC yang telah beroperasi iaitu JCC Kota Iskandar, JCC Daerah Pontian, JCC Batu Pahat dan Muar. Pada tahun 2024, JCC YPKDT dijangka akan bertambah pengoperasiannya di daerah Segamat dan PPR Melana Indah Fasa 2, Skudai, PPR Desa Mutiara, RSK Taman Cendana, Pasir Gudang dan JCC Kluang untuk pembinaan pada tahun 2025.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YPKDT akan memberi tumpuan utama bagi penubuhan JCC di setiap daerah bagi memastikan lebih ramai penerima manfaat kemudahan ini. YPKDT juga menyambut baik cadangan untuk mewujudkan JCC lebih dari satu buah setiap daerah selepas mencapai KPI YPKDT 1 daerah 1 JCC.

Walau bagaimanapun, jumlah ini masih terlalu kecil dan perlu meluaskan terutama bagi penerima manfaat di kalangan B40, kategori B40 merupakan 40% atau mewakili 40% pendapatan isi rumah terendah di Malaysia.

Oleh itu, kerajaan negeri melalui YPKDT telah mengambil inisiatif membuat latihan kerja ke Kementerian Pembangunan Wanita, Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura pada 28 Julai 2022. Taklimat telah diberikan oleh MSF secara menyeluruh merangkumi pengurusan, perkhidmatan, pembangunan dan pelaksanaan dasar serta polisi, serta mempelajari kaedah terbaik yang diguna pakai dan diamalkan oleh kerajaan di Singapura terutama dalam menyantuni golongan sasar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan lawatan yang telah dilaksanakan ini amat membantu YPKDT dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan dalam menyantuni golongan sasar. YPKDT mencadangkan agar pembangunan JCC diperluaskan khusus kepada golongan sasar yang memerlukan dan bukan hanya kakitangan awam.

Selari dengan tema Belanjawan Johor 2024, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM593,000.00 menaik taraf dan membaik pulih bangunan kerajaan sedia ada bagi Jauhar Childcare Center iaitu JCC, PPR

Desa Mutiara, RSK Taman Cendana dan bagi kerja-kerja awal bangunan JCC Kluang serta pengoperasian JCC pertama dalam komuniti PPR Melana. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib Bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat atas jawapan sebentar tadi tu.

Yang Berhormat ada menyebut bahawa penubuhan JCC YPKDT ini masih belum mencukupi bagi membantu lebih ramai keluarga B40 dan akan diperluaskan kepada bukan sahaja penjawat awam. Soalannya, apakah antara usaha yang Kerajaan Negeri sedang jalankan agar ianya seiring dengan tema Belanjawan 2024 kita iaitu Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat. Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk pengetahuan Yang Berhormat serta Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, JCC YPKDT akan diperluaskan juga di kawasan komuniti dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ). Terima kasih YB Dato’ Jafni dalam membantu ibu bapa bekerja menghantar anak berhampiran kediaman mereka bagi mendapatkan khidmat jagaan dan pendidikan awal yang berkualiti dan persekitaran yang kondusif dan selamat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui YPKDT mencadangkan agar pembangunan JCC diperluaskan khusus kepada golongan sasar yang memerlukan dan bukan hanya kakitangan awam. Manakala lokaliti yang diberikan tumpuan adalah di daerah Johor Bahru kerana ia merupakan kawasan bandar besar dan mempunyai kepadatan penduduk yang lebih tinggi dari daerah atau lokaliti-lokaliti lain.

Daerah Johor Bahru juga adalah pusat tumpuan mencari rezeki disebabkan kedudukan berhampiran dengan negeri jiran iaitu Singapura. Antara inisiatif yang telah diambil adalah dengan meninjau lokasi-lokasi yang bersesuaian. Dan di antara lokasi yang telah dilawati adalah di kawasan program perumahan rakyat (PPR) sebagaimana berikut:

-RSK Taman Cendana, Pasir Gudang – status pemilikannya adalah PKPJ; dan - PPR Taman Desa Mutiara – status pemilikan juga PKPJ

Berdasarkan kepada pemantauan dan maklum balas yang diberikan berkaitan penubuhan taska JCC di kawasan seperti ini, pada dasarnya mereka amat bersetuju dan mengalu-alukan sekiranya JCC diwujudkan di lokaliti mereka. Usaha ini juga akan diperluaskan bukan hanya di daerah Johor Bahru tetapi di seluruh negeri Johor dari semasa ke semasa. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Skudai.

Assalamualaikum Datuk Speaker. Soalan saya nombor 2.

Pengaruh-pengaruh negatif makin membimbangkan dan ada kalanya ia sukar di kawal ibu bapa. Apakah usaha yang telah dirangka kerajaan negeri dalam membantu menangani kejatuhan moral di kalangan belia?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Skudai.

Pertamanya Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan terperinci, ingin saya kongsikan soalan daripada Yang Berhormat Skudai berkaitan dengan isu pengaruh-pengaruh negatif makin membimbangkan dan ada kalanya ia sukar dikawal oleh ibu bapa. Apakah usaha yang telah dirangka kerajaan negeri dalam membantu menangani kejatuhan moral di kalangan belia?

Soalan yang cukup baik yang boleh saya kongsikan berkaitan apakah pelan-pelan kerajaan yang telah menjalankan ataupun merangka agar belia-belia Negeri Johor hidup dalam keadaan selesa di negeri Johor.

Untuk makluman Yang Berhormat Skudai, statistik daripada Institut Kajian Belia Malaysia (IRIS) di Johor sahaja mempunyai belia berumur 15 hingga 30 tahun mempunyai 1.83 juta, belia yang berumur 15 hingga 40 tahun, 1.681 juta, dan juga golongan-golongan belia OKU mempunyai 68,692 orang dan DOSM menunjukkan hampir 2 juta belia di Johor iaitu 45.1% daripada 4 juta rakyat di seluruh Johor.

Yang Berhormat Skudai, izinkan saya kongsikan statistik daripada Polis Johor berkaitan dengan keterlibatan, keterlibatan kumpulan belia dalam jenayah, salah laku dan aktiviti kurang sihat supaya Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat Skudai lain dapat gambaran dengan lebih jelas persoalan yang disuarakan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, sebanyak 2,402 kes jenayah direkodkan sehingga Oktober 2023 membabitkan belia di bawah usia 40 tahun. Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lepas iaitu sebanyak 1,970 kes. Jumlah ini melibatkan berbagai kategori kes indeks. Kalau boleh saya kongsikan di sini yang pertamanya adalah kecurian. Sebanyak 1,083 kes yang meningkat berbanding 862 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas. Isu kedua, iaitu jenayah seksual 818 kes, juga meningkat berbanding 692 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Isu yang ketiga adalah vandalisme, 242 kes sedikit meningkat berbanding 239 kes dalam tempoh tahun lepas. Isu yang keempat adalah samun, 244 kes sedikit meningkat berbanding 166 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas. Isu yang kelima adalah samseng dan kongsi gelap iaitu 10 kes sedikit meningkat berbanding 7 kes direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas. Dan yang terakhir adalah kes buli iaitu mempunyai 5 kes meningkat 1 kes daripada 4 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama bagi tahun lepas. Dan mengikut rekod Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor juga, jumlah tangkapan bagi semua kategori kes indeks menunjukkan sedikit peningkatan kepada 1,727 tangkapan sehingga Oktober 2023 berbanding 1,717 tangkapan dalam tempoh yang sama bagi tahun lepas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor pula merekodkan sebanyak 2,251 tangkapan sehingga Oktober 2023 membabitkan belia di bawah usia 40 tahun. Sedikit menurun berbanding 2,455 tangkapan dalam tempoh sama pada tahun lepas. Jumlah sitaan kenderaan pula menunjukkan trend sedikit menurun iaitu 1,262 berbanding 1,674 dalam tempoh sama bagi tahun lalu. Bagi kesalahan lumba haram, dalam tempoh yang sama sehingga Oktober 2023 sebanyak 421 tangkapan telah dibuat meningkat berbanding 270 tangkapan dalam tempoh sama bagi tahun lalu. Dan bagi kesalahan mabuk pula, sebanyak 492 tangkapan dibuat sehingga Oktober 2023 meningkat berbanding 470 tangkapan dalam tempoh sama tahun yang lepas.

Suka untuk saya kongsikan juga, statistik jenayah narkotik membabitkan belia-belia usia 40 tahun di negeri Johor ini menurun. Yang Berhormat, statistik daripada Jabatan Jenayah Narkotik IPK Johor yang dikongsikan kepada saya sehingga Oktober 2023 sebanyak 9,942 kes jenayah dadah direkodkan meningkat berbanding 8,482 kes dalam tempoh yang sama.

Iaitu peningkatan sebanyak 17.21%. Jumlah kes ini membabitkan berbagai kesalahan-kesalahan antaranya Seksyen 39(b), Seksyen 39(a) dan Seksyen 12, Seksyen 6 dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat saya memahami kebimbangan Yang Berhormat Skudai dan selaku EXCO Belia Negeri Johor saya ambil maklum mengenai trend peningkatan ini. Justeru, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor di bawah Bahagian Pembangunan Belia telah melaksanakan 10 Program Intervensi Sosial Dari Belia Untuk Belia (Y2Y) Bagi Tahun 2023 yang menumpukan kepada advokasi, kempen, pendidikan dan latihan yang memfokuskan kepada usaha untuk mengurangkan keterlibatan belia dalam isu permasalahan sosial. Program ini mensasarkan belia sekolah, belia pengajian tinggi dan belia masa kini yang telah dilaksanakan di semua 10 daerah dengan jumlah penyertaan 1,129 orang peserta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui pelaksanaan-pelaksanaan program di bawah Bahagian Pembangunan Rakan Muda juga pada tahun 2023, sebanyak 71 program telah dilaksanakan di seluruh negeri Johor yang melibatkan penyertaan seramai 30,000 orang dan pelaksanaan program dan aktiviti melalui 10 gaya hidup Rakan Muda yang telah diberi nafas yang baharu ini juga adalah berdasarkan kepada penterjemahan minat kecenderungan positif anak muda.

Untuk makluman Yang Berhormat Skudai juga, pada tahun ini dan tahun hadapan insya-Allah di bawah Majlis Belia dengan kerjasama Southern Volunteer juga telah pun menjalankan Program Jelajah Aspirasi Belia dan insya-Allah di dalam Jelajah Aspirasi Belia itu, banyak aktiviti-aktiviti kesedaran dan saya mengalu-alukan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memberi pandangan dan idea untuk membangunkan generasi belia bersama untuk Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, saya jemput Skudai.

Ok. Terima kasih Yang Berhormat kerana memperincikan statistik daripada Jabatan Jenayah di kalangan belia. Dan saya tertarik bila lihat apa ini laporan daripada narkotik sehingga Oktober 2023. Ini peningkatan sebanyak 17.21% gejala dadah di kalangan belia dan sebab saya di lapangan amat rapat dengannya, kalau kita tengok usia belia adalah 15 hingga 40 tahun. Dan kita rapat dengannya belia-belia yang di bawah usia 15, maksudnya di kalangan usia 15 tahun. Dan kita lihat sebagai contoh kes pada baharu-baharu ini, mereka yang golongan muda terlibat dalam aktiviti vape dan juga salah guna dadah dan begitu juga di kawasan-kawasan flat terutamanya. 13 tahun, baharu berusia 13 tahun tetapi meninggal akibat overdose. Ok, jadi kebimbangan saya ini adalah pada belia umur 15 sehingga 40 tahun ini di mana mereka suka mencuba, mereka cuba nak meng’explore’ something yang baharu. Dan ada kalanya mereka tersilap langkah. Jadi, soalan saya adakah terdapat kerjasama daripada pihak Yang Berhormat sendiri dan juga pihak Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar pendidikan bukan sahaja pada belia tetapi ibu bapa belia juga supaya bersama-sama dapat memainkan peranan supaya anak mereka, belia-belia ini apa ini tidak tergelincir daripada sasaran yang sebenar?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Skudai atas pandangan dan soalan yang telah diberikan. Untuk makluman Yang Berhormat Skudai, Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, setakat hari ini memang ada kerjasama secara langsung pihak EXCO Wanita, Keluarga dan Masyarakat khususnya bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim untuk keterlibatan dalam pembangunan sahsiah belia. Insya-Allah cadangan dan pandangan Yang Berhormat akan diteliti dan strategik lautan biru akan diperkasakan merentasi Portfolio Belia, Keluarga dan Masyarakat. Dan untuk makluman Yang Berhormat juga, sebab itu saya menekankan di bawah agensi portfolio saya agar

program-program secara langsung dijalankan di flat-flat kerana saya elakkan program-program di shopping complex mahupun program-program di sasaran yang lebih rapat saya rasa dengan golongan-golongan anak-anak flat ini kerana mereka juga inginkan pendedahan yang lebih rapat dengan kerajaan. Sebab itu saya meminta di bawah portfolio saya, pelbagaikan program agar vandalisme yang berlaku di flat-flat ini tidak dipersalahkan akhirnya kerana saya tidak mahu kerajaan sentiasa dipersalahkan dan Alhamdulillah bila saya duduk di portfolio saya ini kerap kali program-program yang berjalan di flat-flat di seluruh Johor saya ucapkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang dapat bekerjasama dengan semua pihak khususnya Ahli-Ahli Yang Berhormat, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput soalan yang seterusnya, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran pemerhati iaitu daripada kawasan ADUN Johor Lama seramai 20 orang. ADUN Sungai Balang, ada ke? Pemerhati daripada ADUN Larkin, ada. Pemerhati daripada ADUN Tenang. Pemerhati daripada ADUN Puteri Wangsa.

Saya jemput Yang Berhormat Kukup.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, di Pulau Kukup ada naga, soalan Kukup nombor 3.

Bilakah Taman Negara Pulau Kukup akan beroperasi sepenuhnya kepada orang awam serta apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri untuk menarik pelancong dalam dan luar negeri ke Taman Negara Tanjung Piai dan Pulau Kukup?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman penutupan Taman Negara Johor Pulau Kukup pada 2 November 2021 yang lalu adalah disebabkan oleh kerosakan kemudahan pelancongan yang di selenggara oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA). Taman Negara Johor Pulau Kukup dijangka akan beroperasi semula pada Januari 2024 setelah penyerahan tapak projek oleh IRDA. Saya pasti saya tidak akan lupa untuk menjemput YB Kukup bila Taman Negara Pulau Kukup beroperasi semula. Sepertimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam Ucapan Belanjawan 2024, Taman Melawat Johor akan diadakan pada tahun 2026. Hasil daripada pengumuman Belanjawan yang telah dibentangkan juga, terang dan jelas menunjukkan kerajaan negeri amat menekankan aspek infra kemudahan awam di tempat ekopelancongan khususnya di taman-taman negara Johor dan hutan-hutan lipur.

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, antara kerja-kerja yang sedang berjalan di Taman Negara Johor Tanjung Piai ialah pembinaan kaunter tiket baharu, pembinaan surau, jambatan dan juga rumah sampah. Selain itu, tandas baharu juga telah disiapkan dan telah digunakan oleh para pelawat. Bagi tahun 2024 pula, kerja-kerja menaik taraf akan diteruskan dengan pembinaan pintu gerbang yang baharu, menaik taraf galeri dan membina bumbung di kawasan balai ketibaan kompleks pelawat. Manakala, bagi Taman Negara Johor Pulau Kukup, kerja-kerja membaik pulih pelantar oleh pihak IRDA sedang di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada pihak Taman Negara Johor. Selain itu juga, bot penumpang yang membawa pelawat ke Pulau Kukup juga akan dinaik taraf. Pulau Kukup dijangka akan dibuka pada pelawat pada awal tahun 2024.

Selain itu, pelbagai langkah drastik telah diambil oleh Perbandaran Taman Negara Johor bagi memastikan jumlah pelawat yang datang ke Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Taman Negara Johor Pulau Kukup ditingkatkan. Antaranya, Perbadanan Taman Negara Johor akan menganjurkan program-program berimpak tinggi seperti World Wetland Day, Clean Up, Migratory Bird dan Karnival Hujung Benua dan serta lain-lain lagi. Pelbagai pakej

akan disediakan untuk menarik pelawat yang datang sebagai contoh, pakej CSR yang mempunyai aktiviti-aktiviti konservasi seperti penanaman pokok bakau, pembersihan kawasan hutan bakau dengan melibatkan komuniti tempatan. Penghargaan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana sangat menekankan aspek infrastruktur kemudahan asas di Taman-Taman Negara Johor. Oleh itu, Perbadanan Taman Negara Johor sedang dalam proses penambahbaikan kemudahan bagi keselesaan pelawat yang akan datang.

Tourism Johor juga akan turut kerjasama dengan Perbadanan Taman Negara Johor di dalam usaha memperkasa kempen promosi kedua-kedua Taman Negara Johor ini melalui media sosial, penganjuran Fam Trip, pameran pelancongan dan bahan-bahan promosi pelancongan negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih di atas jawapan Yang Berhormat EXCO. Kita tahu bahawa apabila Pulau Kukup itu ditutup, sudah semestinya ada pengubahsuaian, baik pulih dan sebagainya kita faham. Cuma soalan saya di sini kita tahu keadaan di Pulau Kukup itu adalah kawasan yang berair dan juga kawasan laut. Bagi memastikan sesuatu pengubahsuaian ataupun jambatan yang kita bina itu boleh kekal agak lama, adakah pihak EXCO memikirkan apakah bentuk material yang sesuai diguna pakai bagi mengelakkan pengubahsuaian itu dilakukan secara kerap dan ini menimbulkan masalah kepada jadual pelancongan kita pada hari ini. Terima kasih, itu soalan tambahan saya.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Kukup. Seperti mana yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Kukup, memang bila dikatakan Pulau Kukup ianya melibatkan air. Material-materialkan, air yang digunakan perlu dibekal dalam kualiti yang tinggi pasal tu bila IRDA membuat penambahbaikan, kita tidak puas hati dengan bila kerja-kerja pertama dibuat oleh kontraktor, kita minta ditukarkan agar material yang digunakan tahan lama dan apabila kerja-kerja IRDA dijalankan juga, kita mendapati jeti yang untuk mengambil penumpang pun dalam keadaan tidak baik yang seperti mana yang dilaporkan oleh JKR. Oleh itu, kita telah pun membuat jeti sementara untuk tidak memberhentikan operasi dan juga kita telah membuat permohonan kepada kerajaan persekutuan dan kita telah diluluskan sebanyak peruntukan sebanyak RM20 juta untuk buat jeti-jeti baharu. So, kerja-kerja pembuatan jeti baharu akan dijalankan selari dengan pembukaan sebab kita dah ada jeti sementara. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Yang Berhormat Kukup, masukkan dalam TikTok di Kukup ada naga, ramailah orang datang. Saya jemput Yang Berhormat Endau.

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

Adakah kerajaan bersedia untuk membina Rumah Mampu Milik Johor di kawasan Tenglu, Endau memandangkan tanah tersebut telah disediakan untuk projek itu?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam Maju Johor. Bismillahirrahmanirrahim. Soalan Kukup, soalan Endau berbunyi, adakah kerajaan bersedia untuk membina rumah mampu milik di kawasan Tenglu, Endau memandangkan tanah tersebut telah disediakan untuk projek perumahan.

Untuk makluman YB Endau dan rakyat Mersing, projek ini telah dilancarkan tahun 2017 di bawah agensi kerajaan tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini bila didapati keadaan tanah dan kawasan infra, kosnya terlalu tinggi. Jadi untuk makluman Yang Berhormat Endau, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian khusus untuk penyediaan rumah mampu milik di daerah-daerah yang kurang menyediakan rumah untuk ditawarkan kepada golongan B40 dan M40. Selain itu dalam rekod task force Perumahan Johor sehingga 2026, sebanyak 3,834 unit akan disiapkan antaranya, pertama Taman Koperasi Nelayan 76 unit, saya ingat dalam Sidang Tahun 2022, Yang Berhormat ada bangkitkan tentang isu projek sakit, dah sakit semenjak tahun 2017 lebih daripada 7 tahun. Di peringkat taskforce kerajaan bersama PKPJ Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor bersama PBT Mersing dan beberapa agensi kerajaan kita telah menubuhkan task force untuk projek sakit ini. Dan insya-Allah untuk makluman Yang Berhormat, projek ini akan siap hujung bulan 12 ini, insya-Allah, Q1, 2024 akan diserahkan kunci. Ada juga projek-projek lain yang kedua ialah di Taman Lagenda Suria 3,499 unit yang harganya bermula daripada RM50,000.00 sehingga RM300,000.00. Yang ketiga, Rumah Impian Bangsa Johor pun akan berada di Mersing sebanyak 250 unit dan yang terakhir Taman Markisa 9 unit.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Amat Berhormat, Projek Lagenda Suria, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa PDRC telah meluluskan pembangunan untuk rumah B40 dan M40 berskala besar di daerah Mersing melibatkan pembangunan di Taman Lagenda Suria. Jumlah unit yang mampu dimiliki ia akan ditawarkan sebanyak 3,499 dengan harga bermula RM50,000.00 sehingga RM300,000.00. Projek ini dijangka akan ditawarkan kepada rakyat bermula tahun 2024 sehingga tahun 2029. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Sri Medan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Apakah perancangan yang akan dilaksanakan di negeri Johor melalui Projek Point Of Presence (POP) Fasa 2 yang telah diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan hari ini saya sendiri nak mengalu-alukan kehadiran orang kampung saya dari FELDA Simpang Waha, Kota Tinggi. (Dewan bertepuk). Insya-Allah saya belanja makan tengah hari.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan soalan daripada Sri Medan, apakah perancangan yang akan dilaksanakan di negeri Johor melalui Projek Point Of Presence (POP) untuk fasa kedua yang telah diperuntukkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia?

Suka ingin saya kongsikan dalam sidang Dewan pada hari ini, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah memperuntukkan sebanyak RM3.9 bilion bagi meneruskan pelaksanaan projek POP ini untuk fasa kedua. Ini melibatkan 3,693 POP di lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara. Bagi negeri Johor sendiri kita akan mendapat sebanyak 568 tapak POP ini sekali gus ini merupakan negeri yang paling banyak mendapat manfaat daripada projek ini. (Dewan bertepuk). Untuk makluman semua, projek POP untuk fasa pertama bagi kawasan sekolah di negeri Johor adalah di bawah kelolaan syarikat Maxis Broadband Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 50 POP. Sementara bagi kawasan perindustrian di negeri Johor adalah di bawah kelolaan syarikat Visi Telecom Sdn. Bhd. iaitu sebanyak lima tapak POP.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pelaksanaan POP fasa kedua pula akan dilaksanakan pada tahun 2022 hingga tahun 2025. Syarikat yang telah terpilih oleh Kementerian Komunikasi dan Digital untuk dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan projek POP fasa kedua di negeri Johor ini adalah syarikat Konsortium Apex Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 568 jumlah POP yang saya telah maklumkan tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, objektif projek ini adalah untuk menyediakan penyelesaian penyambungan kepada komuniti luar bandar. Usaha ini bertujuan untuk membolehkan komuniti-komuniti ini mengakses dan mendapat manfaat daripada pelbagai aplikasi internet. Ia juga bertujuan untuk menyambungkan sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan yang masih belum mempunyai sambungan fiber optik agar dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ini yang lebih stabil. Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi ini akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas dan membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi dan dipraktikkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif POP ini juga adalah untuk, adalah antara komitmen Kerajaan Negeri Johor dan persekutuan dalam menggalakkan penerimaan teknologi digital oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Usaha ini juga bertujuan mempersiapsiagakan rakyat dengan kemahiran digital bagi merapatkan kesenggangan digitalisasi serta memperkasa infrastruktur telekomunikasi di negeri Johor ini sendiri.

Suka juga saya nak kongsikan kepada Ahli Dewan pada esok hari, pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC) akan membuka booth di sebelah wing kanan, jadi saya jemput Ahli-Ahli Yang Berhormat ataupun Pegawai-Pegawai Khas boleh singgah ke booth tersebut bagi mengetahui informasi dan perbincangan permasalahan liputan Internet dan komunikasi di kawasan masing-masing. Sekian, terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya, apa yang seperti dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO berkenaan Program POP Fasa 2 ini berjumlah RM3.9 bilion dan Johor menerima 568 tapak POP ini. Apa yang saya faham pembinaan mungkin menara yang ada tu mungkin dia berhampiran dengan sekolah dan juga yang kita lihat di mana-mana tempat pun tiap-tiap sekolah tu ada pencawang yang ada pun macam tak ada. Ok, itu yang pertama. Saya lihat di sini, kalau kedudukan 568 tapak ini berada berhampiran sekolah, mungkin ia tidak dapat membantu untuk capaian internet di kawasan luar bandar. Jadi contohlah, saya ada berjumpa dengan SKMM Negeri Johor dan saya melihat bahawa program-program yang dicadangkan itu mungkin tak sama seperti yang diterangkan oleh Yang Berhormat EXCO iaitu Program POP Fasa 2 dan saya di sini, saya ingin mencadangkan dan boleh di rekod oleh Dewan Negeri Johor ada empat kawasan di kawasan Sri Medan yang perlu untuk Yang Berhormat EXCO bantu. Kalau kata fasa dua ini dengan 568 lokasi ini, saya minta empat je lokasi untuk Sri Medan. Yang pertama, di kawasan Parit Laman Mukim 4, Sri Medan, yang kedua, Kampung Parit Haji Yusuf, Sri Medan, yang ketiga, Parit Jayus 4 hingga 6, kawasan Sri Medan, yang keempat Kampung Sri Dayung dan juga Parit Badak, Sri Medan. Kerana apa? Saya bangga dengan apa yang MB umumkan Maju Johor 2030 dan Sri Medan pun nak rasa maju dengan capaian internet, terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih atas soalan tambahan daripada YB Sri Medan, ok. Ingin saya kongsikan juga berkaitan dengan projek POP fasa kedua ini. Langkah-langkah Kerajaan Negeri Johor untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini, kita tak mahu projek ini seperti projek-projek sebelum ini kita mahu ia menambah, ditambah baik lagi untuk projek fasa kedua ini yang

mana kita telah mengadakan projek POP ini telah dikategorikan sebagai projek fast lane di bawah Inisiatif Jaringan Digital Negara (JENDELA) bagi permohonan-permohonan kelulusan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kerja Raya daerah-daerah.

Selain itu, langkah-langkah kerajaan negeri untuk mempercepatkan lagi projek ini, pihak kami telah mengadakan bengkel serta taklimat kepada pihak-pihak berkepentingan dan yang berkaitan tentang informasi dan perancangan bagi projek Point Of Presence Fasa Kedua ini dan selain daripada itu juga, saya juga akan mengadakan mesyuarat bulanan dan laporan secara berkala bagi pemantauan projek ini sepanjang pelaksanaan di negeri Johor seperti mana Yang Berhormat Sri Medan katakan tadi dalam daerah Batu Pahat ada 93 projek POP. Jadi, hanya tuan badan dan orang kampung sendiri tahu di mana projek-projek ini sesuai untuk dilakukan, ok.

Selain daripada itu, bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memastikan projek ini berjalan dengan lancar dan mengikut masa yang telah ditetapkan. Dan suka juga saya nak ingatkan, jika ada sebarang masalah tentang pelaksanaan projek ini, boleh terus berhubung dengan pihak saya, pihak kami agar kita terus membuat lawatan dan pemantauan dengan kadar segera. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Mohon senaraikan pecahan peruntukan yang diberi kepada setiap sekolah agama di Johor pada setiap tahun.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Panti bertanyakan memohon disenaraikan pecahan peruntukan kepada setiap sekolah agama secara tahunan.

Bagi memastikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran lancar, beberapa pecahan peruntukan tahunan diberikan terdiri daripada kategori di mana setiap sekolah kerajaan Johor menikmati peruntukan yang sama. Antaranya ialah peruntukan kebersihan, sumbangan Majlis Maulidur Rasul, peruntukan peralatan sekolah dan sumbangan kepada kebajikan sekolah.

Bagi peruntukan kebersihan sekolah, sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan, di mana sekolah gred A sebanyak 50 buah dan gred B 88 buah di bawah peruntukan Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Manakala sekolah gred C mendapat sumbangan daripada Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor sebanyak RM2.112 juta.

Untuk maklumat Yang Berhormat, Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor adalah badan berkanun negeri yang berperanan sebagai menguruskan wang khairat Sekolah Agama Kerajaan Johor dan boleh menerima mana-mana sumbangan lain sebagaimana maksud penyumbang.

Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor turut memperuntukkan sumbangan Maulidur Rasul RM770,000.00 setahun dan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat zon, daerah dan juga negeri sebanyak RM700,000.00 setahun yang diberikan kepada 583 buah sekolah agama.

Selain itu Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor juga memberi peruntukan peralatan sekolah sebanyak RM1.76 juta setahun yang merangkumi percetakan kertas soalan peperiksaan akhir tahun, alatan kelengkapan mengajar, alat tulis dan alatan kebersihan.

Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor turut menyumbang kepada baik pulih kecil di mana setiap daerah akan menerima RM10,000.00 setahun.

Bagi sumbangan badan kebajikan, RM1.9 juta setahun daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor diperuntukkan mengikut gred sekolah.

Untuk makluman Yang Berhormat Panti, tiada kadar tetap yang diperuntukkan kepada setiap sekolah agama di negeri Johor ini bagi peruntukan baik pulih sama ada kecil mahupun besar dan peruntukan penggantian perabot. Peruntukan akan diberikan berdasarkan kepada permohonan yang dimohon oleh pihak sekolah.

Bagi baik pulih kecil, peruntukan sebanyak RM1,000.00 bagi setiap sekolah disediakan melalui Pejabat Pendidikan Islam Daerah. Segala permohonan baik pulih kecil akan diajukan kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan kerja-kerja baik pulih diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Islam Daerah itu sendiri.

Kerajaan sentiasa mengenal pasti sekolah-sekolah yang memerlukan kerja-kerja baik pulih kecemasan seperti baik pulih bumbung, electrical dan apa-apa jua yang memerlukan tindakan segera. Bagi kerja-kerja seperti ini, kos adalah bergantung kepada keperluan dan tidak dihadkan. Namun begitu ia tertakluk kepada bajet yang sedia ada.

Bagi peruntukan penggantian perabot sekolah agama yang usang, secara puratanya Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM2 juta setahun dan peruntukan ini akan diberikan berdasarkan permohonan daripada pihak sekolah.

Pada tahun ini sahaja peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah diberikan dan memberi manfaat kepada 158 buah sekolah yang melibatkan penggantian 9,370 buah perabot termasuk meja, kerusi guru-guru dan juga murid. Kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin kepada keperluan asas ini agar setiap sekolah dapat diberikan perhatian dan 198,000 murid-murid mendapat kebajikannya. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Terutama saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat EXCO atas segala usaha yang beliau lakukan untuk memastikan peruntukan-peruntukan kepada sekolah-sekolah agama ini khususnya dapat diberi dengan jumlah yang mencukupi.

Walau bagaimanapun, saya minta penjelasan tentang satu inisiatif daripada pihak kerajaan sendiri iaitu naik taraf bilik al-Bayan. Saya difahamkan naik taraf bilik ini adalah arahan daripada pihak PPID dan akan dibuat secara berfasa. Fasa pertama, sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan murid yang besar dan mungkin selepas itu sekolah-sekolah yang lain. Cuma saya nak minta penjelasan adakah benar, apa tiada peruntukan diberi kepada sekolah-sekolah ini untuk mereka naik taraf bilik-bilik ini dan jika benar, adakah pihak kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk, cadangan daripada Panti untuk mereka dibantu sebab pada saya, apa perkara-perkara ini penting dalam era sekarang, zaman digital dan sebagainya. Mungkin juga kita boleh dapat jaminan daripada pihak kerajaan tentang perkara ini. Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Panti. Soalan berkenaan peruntukan khusus kepada bilik al-Bayan.

Untuk makluman Dewan yang mulia, Negeri Johor adalah negeri pertama yang mengendalikan pendidikan agama Islam-nya menerusi sistem pendidikan, Johor Pendidikan Islam Digital al-Bayan. (Dewan bertepuk). Maksudnya tuan-tuan yang di rumah, balik daripada kerja, boleh semak kerja sekolah anaknya, boleh semak kitab anaknya menggunakan sistem JPID al-Bayan, menggunakan telefon masing-masing. Hebat Yang Berhormat Datuk Speaker. Cuma nak beritahu ini adalah tahun kedua pengoperasiannya, dia memerlukan sedikit masa lagi untuk dilengkapkan di seluruh sekolah-sekolah dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Panti, JPID al-Bayan ini dihasratkan supaya anak-anak kita mengalami pendidikan... menjalani pendidikan agama Islam secara maya dan juga digital. Maka beberapa kelengkapan dan naik taraf telah pun disediakan oleh Kerajaan Johor khususnya dalam menyediakan Wi-fi kepada setiap sekolah. Dia menjadi KPI saya Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa pemasangan di semua 585 buah sekolah agama di seluruh Negeri Johor dilengkapi dengan Wi-fi. Tahun ini sahaja Kerajaan Johor mensasarkan 140 buah dipasang, maksudnya nak lengkap kepada semua ni ambil masa sikit sebab peruntukannya pun berkala dan perlu secara berperingkat.

Untuk Yang Berhormat Panti, tahun ini sahaja kita dah lengkapi Sekolah Agama Bandar Tenggara, Sekolah Agama Taman Anggerik Bandar Tenggara, Sekolah Agama Bukit Bintang dan Sekolah Agama Penggeli Timur. Sekolah ini dapat Wi-fi dan juga TV, Smart TV. Untuk memastikan semua sekolah ada kelengkapan yang penuh Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bagi pihak kerajaan memang kena menyebut, ianya memerlukan sedikit masa lagi. Peruntukan khas sebagai keceriaan, itu semua tak ada. Yang kita ada, kita melengkapi dengan kemudahan asas dan setakat ini di Panti, 4 buah sekolah itu dilengkapkan. Tapi saya memberikan keyakinan bahawa usaha berterusan, tahun lepas Datuk Speaker, oh tak tahun ni Yang Berhormat Datuk Speaker, dapat sumbang 80 buah Smart TV. Tahun depan Datuk Speaker 190 buah kita peruntukan. Jadi Wakil Rakyat semua kena bersabar sikit, tak dapat nak penuhi semua sekali gus tapi akan mula dilengkapkan.

Dan, itu yang dapat saya jawabkan Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB Panti. Tiada peruntukan khusus untuk keceriaan, penambahbaikan yang penuh tapi kerajaan komited untuk memberikan kemudahan asasnya dilengkapkan secara berperingkat. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.

Sila nyatakan perancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan bekalan air yang bakal tidak mencukupi susulan Johor berazam untuk menjadi hab pusat data terbesar di Malaysia.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan sekalian, soalan Yang Berhormat Senai ialah mengenai perancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan bekalan air susulan Johor menjadi hab pusat data terbesar di Malaysia.

Sebagaimana Ahli-Ahli Dewan sedia maklum, pembangunan hab pusat data di negeri Johor tertumpu di kawasan Sedenak, Kulai, Johor yang dikenali sebagai Sedenak Tech Park ataupun STeP dan dibangunkan oleh pihak JCorp.

Pembangunan STeP ini dibahagikan kepada 2 fasa iaitu fasa pertama dijangka pembangunan siap pada tahun 2024. Manakala fasa kedua, pembangunan akan bermula pada tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2028, dengan keluasan tanah masing-masing 700 ekar dan 640 ekar, keperluan bekalan air masing-masing adalah sebanyak 19.62 juta liter sehari dan 31.44 juta liter sehari.

Berdasarkan maklumat daripada pihak JCorp, keperluan bekalan air ini adalah secara berperingkat. Kerajaan Negeri Johor bersama kerajaan persekutuan serta pihak operator air negeri, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. telah membuat perancangan bagi memastikan keperluan bekalan air bagi kawasan industri dan penduduk sekitarnya mempunyai bekalan air yang cukup melalui pelaksanaan projek bekalan air mentah dan air terawat yang menyeluruh.

Antara projek yang akan dibangunkan adalah seperti berikut:-

1. Pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), Sungai Lebak dengan kapasiti 200 juta liter sehari bagi meningkatkan sumber air mentah. Dijangka projek ini akan bermula pada tahun 2025 dan siap 2028.

2. TAPS Sungai Pontian dan Baraj Sungai Pontian dengan kapasiti 260 juta liter sehari bagi meningkatkan sumber air mentah. Dijangka bermula pada tahun 2026 dan siap pada tahun 2028.

3. Pembangunan Loji Pakej dengan kapasiti 50 juta liter sehari di LRA Semangar bagi bekalan air terawat. Tapi kelulusannya bergantung kepada NRECC dan juga SPAN. Kalau lulus insya-Allah kita mula pada suku ketiga 2024 dan akan siap pada suku keempat tahun yang sama, 2024.

4. Pembangunan Loji Rawatan Air Semangar 3 dengan kapasiti 160 juta liter sehari bagi bekalan air terawat. Yang ni dijangka bermula pada tahun 2027 dan siap pada 2028; dan

5. Kita akan buat rezoning paip bekalan air terawat bagi kawasan daerah Johor Bahru yang memberikan tambahan 50 juta liter sehari air kepada kawasan Sedenak dan Kulai. Zoning ini maksudnya air-air di kawasan lain tu kita ubahsuai menghala ke Sedenak, Kulai ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, projek-projek ini semua dijangka akan dapat disiapkan sebelum 2030 bertepatan dengan Perancangan Pembangunan Negeri Johor 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi keperluan semasa bekalan elektrik pula, untuk jangka masa pendek ialah tahun 2022 hingga 2025, sistem rangkaian TNB sedia ada adalah mencukupi untuk menampung bekalan yang diperlukan oleh data centre. Untuk keperluan mid-term antara 2026 hingga 2030, berikut adalah senarai pencawang masuk utama yang dikenal pasti dalam Pelan Tindakan TNB untuk menampung beban data centre di negeri Johor:-

1. PMU Sedenak 500 KV 275 132 dan 33 KV dijangka siap 2026.

2. PMU Nusajaya Selatan 275 132 33 KV dijangka siap 2027.

3. PMU Nusajaya Utara 275 KV dijangka siap 2029.

4. PMU Tanjung Kupang 275 KV dijangka siap 2029, dan

5. PMU 500 KV Tanjung Kupang bergantung kepada keperluan tapak.

Untuk keperluan long term pula Yang Berhormat Datuk Speaker, 2030 dan ke atas, comprehensive system study akan dimuktamadkan sebelum Mac 2024 berdasarkan unjuran beban dan kapasiti generation plan out. Terima kasih.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih jawapan yang diberikan oleh YB EXCO dan terima kasih atas usaha yang dirancang dan disediakan oleh kerajaan negeri. Jadi soalan tambahan saya, kami difahamkan bahawa pengurusan suhu air penyejuk adalah penting untuk memastikan kestabilan dalam suhu peralatan pusat data. Memandangkan masalah gangguan bekalan air yang sentiasa berlaku di Johor kerana pencemaran air dan juga kebocoran paip dan sebagainya, jadi saya nak tanya adakah pihak YB EXCO dan juga agensi-agensi yang berkaitan sudah bersedia untuk membekal air secara stabil kepada bukan sahaja kepada pengendali pusat data tetapi juga kepada orang awam jugalah. Sekian, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Senai. Betul, ada beberapa isu yang perlu kita selesaikan akibat kekurangan air sekarang antaranya ialah kita nak tengok kadar non revenue water kita. Antara yang boleh tahan tinggi juga iaitu pada 2018, 24.7%. Ini kebocoran yang kita tak dapat revenue maknanya air hilang di sepanjang paip. 2019, 24.9%, 2020, 26.7% dan insya-Allah pada tahun 2023 setakat ini 25.3%. Dan untuk mengatasi masalah kebocoran paip ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ada melakukan kerja-kerja penggantian paip lama daripada paip AC kepada PE, asbestos simen kepada paip PE. Kita untuk tahun 2022, perancangannya kita untuk 2024 sampai 2025 kita akan gantikan 213 kilometer paip, 2021, 223 kilometer dan 2020, 234 kilometer. Selagi kita tak repair paip ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Senai, bila kita increase tingkatkan dia punya tekanan, paip-paip ini pecah. Jadi, ini salah satu usaha yang kita buat supaya kita dapat pastikan bila kawasan itu padat dengan penduduk, kita nak pam lebih air kat kawasan itu tak ada implikasi paip bocor. Selain yang saya sebutkan tadi, kita perlu buat rezoning ada kawasan-kawasan yang mungkin persediaan dulu kita dah sediakan banyak air kawasan itu tapi bila kita buat rezoning semula mungkin perindustrian itu pindah ke tempat lain dan insya-Allah macam saya sebut tadi, rezoning yang akan dibuat bermula pada tahun 2026 hingga 2027. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8. Terima kasih.

Apakah usaha-usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan pengeluaran industri sawah padi di negeri Johor, terutamanya di dalam daerah Tangkak?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Maharani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Nyatakan jumlah keseluruhan pengeluaran padi dalam setahun di negeri Johor dan apakah usaha kerajaan untuk menambah baik hasil pengeluaran padi bagi menjamin bekalan makanan mencukupi kepada rakyat negeri Johor?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.

Adakah kerajaan berhasrat untuk memperluas hasil tanaman padi sebagai mempertingkat inisiatif kerajaan di dalam keterjaminan makanan dan adakah kerajaan telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang dikira bersesuaian untuk tanaman padi serta insentif yang disediakan kepada para petani?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Permas.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11.

Keterjaminan makanan menjadi isu global. Apakah Kerajaan Negeri Johor akan melaksanakan penanaman padi sepertimana kenyataan YAB Menteri Besar Johor pada 23 September 2023?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Pulai Sebatang, Yang Berhormat Datuk Speaker ramai yang tanya ni. Pecah kaca pecah gelas, kami soal EXCO balas, supaya ianya lebih jelas, soalannya nombor 12.

Apakah perancangan kerajaan negeri bagi menangani isu kekurangan makanan terutamanya beras pada masa-masa akan datang?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 13.

Langkah kerajaan menawarkan tanah bagi tujuan memperluaskan kawasan penanaman padi adalah suatu cadangan yang baik. Walau bagaimanapun, apakah mekanisme penawaran penggunaan tanahnya dan jaminan guna tanah ini terus terpelihara?

Speaker

Sila.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon untuk menjawab bersekali 6 soalan dan kalau pandukan kepada 6 soalan ini, jawapan saya mungkin agak panjang dan jika perlukan penjelasan lebih jelas saya harap akan ajukan untuk jawapan bertulis.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertanyaan keenam-enam soalan ini kepada Yang Berhormat Gambir, Yang Berhormat Maharani, Yang Berhormat Penggaram, Yang Berhormat Permas, Yang Berhormat Pulai Sebatang dan Yang Berhormat Simpang Jeram. Rata-rata berkaitan data padi dan beras negeri serta langkah-langkah kerajaan untuk menambah baik pengeluaran padi dan beras negeri. Untuk rekod, keperluan beras setahun bagi rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,517,461 tan atau 209,788 tan sebulan. Namun tahap sara diri atau SSR bagi padi negara pada masa ini adalah sebanyak 62.6%. Justeru, selebihnya diimport dari luar negara bagi memenuhi keperluan rakyat. Pada tahun 2022 sahaja, negara mengimport beras sebanyak 1,112,501 tan. Dan untuk makluman Ahli

Dewan, negeri Johor merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai kawasan penanaman padi luar jelapang. Kawasan dan pengeluaran tanaman padi di Johor adalah kecil dengan luas skim 2,254.39 hektar atau 0.8% sahaja berbanding keluasan parcel padi negara seluas 280,208 hektar.

Keluasan skim sejumlah 2,254.39 hektar ini di negeri Johor ini melibatkan 10 buah daerah atau 10 buah kawasan tanaman padi, iaitu 5 di Tangkak dengan keluasan 842.97 hektar, 1 sawah di Muar dengan keluasan 364.22 hektar, 2 di Mersing dengan keluasan 549.38 hektar, 1 di Batu Pahat dengan keluasan 141.7 hektar, dan 1 di Kluang dengan keluasan 356.12 hektar. Daripada jumlah keseluruhan skim ini iaitu 2,254.39 hektar ini luas parcel yang aktif di Johor adalah 1,631.55 hektar. Sebagai makluman Ahli Dewan juga, penanaman padi di Johor dijalankan 2 kali setahun, iaitu pada musim utama dan luar musim. Pada tahun lalu iaitu tahun 2022 keluasan penanaman padi bagi kedua-dua musim adalah sebanyak 2,777 hektar, iaitu 1,460 hektar pada musim utama dan 1,317 hektar pada luar musim. Ia melibatkan seramai kira-kira 891 orang pengusaha bagi setiap musim. Purata hasil pada musim utama adalah 4.3 tan per hektar manakala luar musim 3.5 tan per hektar. Daripada data ini secara keseluruhannya prestasi purata pengeluaran padi Johor bagi tahun 2022 adalah 3.9 tan per hektar dan menyumbang kepada pengeluaran padi sebanyak 10,780 tan dengan penghasilan beras sebanyak 7,551 tan. Dengan anggaran penduduk negeri Johor pada tahun 2022 seramai 4.028 juta orang dan dengan anggaran keperluan per kapita beras 78 kilogram setahun bagi setiap orang. Maka, secara keseluruhannya sebanyak 314,217 tan beras diperlukan oleh rakyat Johor.

Oleh yang demikian, penghasilan beras di Johor hanya dapat menyumbang, hanya 2.4% keperluan rakyat Johor dan selebihnya daripada luar. Sungguhpun negeri Johor merupakan pengeluar padi di luar jelapang dan mempunyai keluasan yang kecil berbanding negeri lain ia tetap menjadi fokus kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluarannya. Kerajaan Negeri Johor menerusi Jabatan Pertanian dan agensi-agensi berkaitan telah merangka beberapa pelan strategik bagi pembangunan industri sawah padi di Johor. Antaranya yang pertama, program meningkatkan produktiviti sawah padi dengan sasaran peningkatan daripada 3 hingga 5 tan per hektar pada masa kini kepada 6 tan per hektar pada setiap musim penanaman. Ia akan melibatkan pelaksanaan insentif bagi bantuan input dan teknologi mekanisasi, menaik taraf struktur dan infrastruktur dan kerja-kerja pengurusan sawah dengan peruntukan tahun 2024 sebanyak RM3.9 juta.

Kedua, mengoptimumkan penggunaan kawasan skim tanaman padi yang telah diwartakan serta penguatkuasaan bagi mengekalkan rizab tanaman padi yang akan membantu meningkatkan produktiviti padi di dalam skim sedia ada dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran padi dan beras secara keseluruhannya.

Dan yang ketiga, seperti juga yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penggaram, Permas dan Simpang Jeram. Yang ketiga, cadangan pelaksanaan projek pembangunan kawasan baharu tanaman padi. Ia melibatkan kawasan baharu seluas 700 hektar yang telah dikenal pasti di daerah Tangkak dan di Kahang, daerah Kluang. Namun, bagi pembangunan kawasan baharu sawah padi, ia memerlukan kos yang sangat tinggi dengan anggaran RM104,000.00 per hektar. Jika jumlah keseluruhan kos bagi kawasan baharu yang dikenal pasti ini, maka ia akan melibatkan kos lebih kurang RM74 juta. Ianya melibatkan 2 spesifikasi kerja iaitu kerja penyediaan kawasan dengan kos pembangunan sebanyak RM44,000.00 per hektar dan kos pembangunan sistem pengairan premier dengan kos pembangunan sebanyak RM60,000.00 per hektar. Justeru, jabatan mengesyorkan agar pengurusan sawah ini dibuat secara bersepadu seperti Program Smart Sawah Berskala Besar atau Smart SBB. Program Smart SBB ini merupakan salah satu pendekatan baharu untuk menarik lebih ramai pihak swasta sebagai rakan kongsi kerajaan bagi menjadikan sub sektor padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing.

Yang keempat, cadangan pewujudan Kawasan Pertanian Bersepadu (AIDA) Wilayah Selatan yang melibatkan penggabungan pengurusan sawah. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi penubuhan AIDA ini ia perlukan sekurang-kurang 3,000 hektar. Justeru, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada pihak kementerian bagi menggabungkan pengurusan sawah-sawah di zon selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan di bawah AIDA Selatan. Pelaksanaan ini akan memberi manfaat dari segi mengoptimumkan penggunaan sumber bagi meningkatkan pengeluaran industri padi dan beras. Cadangan ini juga merupakan satu proses transformasi sektor agro makanan secara terancang bersepadu dan menyeluruh bagi pembangunan sawah padi di wilayah selatan. Namun, ia terpulang kepada pihak kementerian untuk menerima cadangan Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi soalan khusus daripada Gambir berkenaan pembangunan sawah padi di Tangkak. Tangkak adalah daerah utama pengeluaran padi pada masa ini dengan keluasan keseluruhan 842 hektar. Dalam usaha untuk menggalakkan serta meningkatkan pengeluaran industri sawah padi khusus daerah Tangkak, Jabatan Pertanian Negeri Johor melalui Program Pembangunan Sawah Padi telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti menaik taraf infrastruktur seperti pembersihan, perparitan sawah, peralatan tanah sawah, penggunaan benih padi bermutu tinggi serta bahan input tambahan dan pemerkasaan penggunaan mekanisasi dan teknologi. Jabatan Pertanian Negeri Johor juga untuk rekod telah memperuntukkan sebanyak RM1,492,000.00 bagi tahun 2021 dan RM1,178,000.00 bagi tahun 2022. Untuk pembangunan sawah-sawah padi di daerah Tangkak. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Permas.

Terima kasih Datuk Speaker. Yang kita lihat kalau kita perhatikan di super market, beras tempatan adalah pilihan terakhir kerana ia murah. Dan ia juga dianggap sebagai beras hancur dan juga apabila dimasak, esok paginya tidak boleh digunakan lagi buat nasi goreng sebab basi. Jadi, adakah kualiti padi beras tempatan ini akan diberi perhatian dan dipastikan bahawa kualitinya setanding dengan beras-beras di luar. Sekian, terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih soalan daripada Permas. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bahawa pihak kementerian sentiasa ambil maklum tentang pembungkusan ataupun beras-beras yang dipasarkan di negara ini. Dan saya difahamkan bahawa jabatan ataupun penguatkuasaan kerap dijalankan di semua pasar raya untuk pastikan kecukupan serta syarat-syarat ataupun prosedur-prosedur yang dijalankan oleh pihak peniaga dipatuhi. Dan pihak kementerian juga mencadangkan supaya mana-mana pihak yang mengenal pasti terdapat pelanggaran syarat supaya maklumkan pada pihak kementerian untuk tindakan. Itu sahaja.

Speaker

Ya, jemput Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas jawapan yang diberikan. Terima kasih juga di atas segala penyaluran peruntukan kepada sawah-sawah padi terutamanya di daerah Tangkak. Soalan tambahan saya, apakah cabaran atau isu-isu yang boleh menjadi ancaman kepada peningkatan pengeluaran padi khususnya di negeri Johor? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Gambir atas soalan ini dan saya ingin menyatakan bahawa Jabatan Pertanian memang mempunyai pelbagai cabaran dan perkara-perkara yang perlukan pemerhatian dalam masa jabatan nak

pastikan bahawa padi mendapat perhatian daripada jabatan khasnya di negeri Johor. Untuk itu saya boleh nyatakan beberapa cabaran seperti yang dinyatakan oleh YB Gambir tadi. Antara cabaran yang dihadapi oleh jabatan ialah:

1. Cabaran pembangunan di tanah rizab sawah iaitu kalau seperti saya maklumkan di awal tadi ada 2,254,000 hektar tanah yang digunakan, sepatutnya digunakan untuk penanaman padi tetapi 557 hektar telah bertukar kepada tanaman sawit dan 84 hektar seluruh negeri Johor telah dibina bangunan kekal seperti rumah kediaman dan sebagainya. Juga kita harap pihak-pihak yang berkaitan akan melihat langkah-langkah penguatkuasaan yang boleh atau perlu diambil untuk perkara ini. Satu lagi berkaitan dengan kawasan-kawasan tadahan air, rizab tadahan air pun kita harap ia dikekalkan supaya tidak ada gangguan bekalan air di masa akan datang. Saya ambil contoh Yang Berhormat di kawasan Gambir misalnya tempoh hari waktu pesawah melaporkan tentang padi mungkin menghadapi masalah kerana kekeringan. Tinjauan kami bersama pihak JPS mendapati bahawa ada kawasan tadahan air yang sepatutnya menjadi punca air kepada sawah ini tidak, tidak berfungsi malah telah dipohon untuk menjadi pemilikan kepada penduduk setempat. Jadi ini pun kita serah kepada pihak-pihak berkenaan untuk melihat keperluan sama ada untuk mengekalkan kawasan rizab tadahan air ini atau dibuka kepada penduduk atau permohonan penduduk untuk pemilikan.

2. Isu pengairan dan saliran sawah. Ia juga kadang-kadang berlaku kekeringan akibat kekurangan air kerana musim hujan yang tidak menentu.

3. Bencana alam seperti berlaku banjir dan kemarau.

4. Ancaman penyakit padi dan makhluk perosak seperti siput gondang, benang perang dan sebagainya. Dan saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Johor, Jabatan Pertanian Negeri Johor dengan kerjasama UTM yang telah memperkenalkan satu produk yang diberi nama SG-Ez Trap iaitu perangkap siput gondang. Untuk makluman Datuk Pengerusi, Datuk Speaker, siput gondang adalah satu perosak yang bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia terlibat dan produk ini telah mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila menerima Anugerah Gold Prize dalam Seoul International Invention Fair 2023 di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

5. Isu kualiti air dan tanah berasid dan masam.

6. Cabaran untuk memperkasa penggunaan teknologi dan mekanisasi di kalangan pesawah.

7. Satu cabaran ataupun ancaman kepada penanaman padi ialah tiada kesepakatan dalam mematuhi jadual penanaman padi yang dicadangkan oleh jabatan.

Itu sahaja, terima kasih.

Speaker

Ya sila Maharani.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil kepada pengusaha-pengusaha sawah secara berkelompok yang terlalu ramai menyebabkan urusan yang terlalu lemah dan tidak berdaya saing untuk menghasilkan padi yang lebih banyak. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ataupun kami memahami akan terdapat beberapa pengusaha-pengusaha yang tidak berdaya saing dan perlukan bimbingan untuk mengeluarkan hasil yang lebih produktif. Sebab itu dalam jawapan saya di awal tadi bahawa terdapat beberapa perkara ataupun Pelan Strategik Bagi Pembangunan Biasiswa Padi antaranya ialah untuk meningkatkan produktiviti sawah padi daripada tiga ke lima hektar. Ia ada kaitan dengan sawah-sawah padi yang tidak produktif. Jadi Jabatan Pertanian Negeri Johor akan cuba berbincang dengan pesawah ini untuk mematuhi beberapa perkara. Antaranya ialah dengan penggunaan benih padi yang rintang kepada serangan perosak dan penyakit yang penting untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi. Contohnya penggunaan varieti MR 220 CL ataupun padi wangi MRQ 74 dan juga MRQ 76, padi MR dan sebagainyalah dan beberapa varieti lain dan juga tinjauan ataupun penyeliaan daripada Jabatan Pertanian untuk memastikan padi-padi ini ataupun kerja-kerja ini mematuhi jadual yang ditetapkan oleh jabatan. Contohnya jika mereka tidak mengikut jadual, kita bimbang penyaluran air akan terganggu. Jadi sebab itu jabatan sentiasa memberikan penekanan supaya pesawah-pesawah padi ini menanam padi atau menjalankan kerja-kerja penanaman mengikut jadual yang ditetapkan oleh jabatan.

Walau bagaimanapun, saya mengharapkan agar mereka yang perlukan bimbingan Jabatan Pertanian supaya berhubung dengan Pegawai Pertanian Daerah untuk kita sama-sama bantu. Yang penting pada saya ialah kita menyahut saranan dan seruan kerajaan untuk kita menggembleng, menambah pengeluaran padi negeri. Terima kasih.

Speaker

Jemput Yang Berhormat Kukup.

Terima kasih Datuk Speaker, soalan saya nombor 14.

Apakah status terkini Tropicana Industrial Park serta industri apakah yang akan dijalankan di sana serta kesan yang akan dialami penduduk sekitar di kawasan tersebut.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Taman Perindustrian Tropicana juga dikenali T Industrial Park merupakan kawasan perindustrian yang dibangunkan oleh Tropicana Corporation seluas 1,180 ekar dan pembangunan di kawasan ini dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah Pontian. Terletak 7 kilometer di Pekan Nanas, 12 kilometer dari Pusat Bandar Pontian, 24 kilometer dari Pelabuhan Tanjung Pelepas dan 34 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Taman perindustrian ini akan dibangunkan mengikut 8 fasa yang saling berkaitan dengan fokus kepada industri ringan dan sederhana dalam sektor elektrikal dan elektronik, farmaseutikal dan peranti perubahan, logistik, pemprosesan makan dan teknologi berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

Terkini, Syarikat Alten Industry Limited Group sebuah syarikat pembekal global peralatan pengguna dan komersil, perkakas dan penjagaan lantai yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan juga di China telah melabur di taman ini dan juga telah mengumumkan pengembangan pangkalan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan R&D mereka ke Malaysia. Pelaburan ini akan direalisasikan melalui tiga fasa dengan fasa pertama merangkumi 45.2 ekar, fasa kedua merangkumi 109.4 ekar dan fasa ketiga merangkumi 245 ekar. Dan jumlah pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan ini sekiranya berjaya direalisasikan untuk ketiga-tiga fasa adalah hampir 10,000 peluang pekerjaan.

Beberapa syarikat di dalam sektor perkhidmatan logistik dan pergudangan serta pembuatan bahan pembinaan juga sedang dalam proses perbincangan dengan pihak pemaju taman ini berkaitan kebolehlaksanaan projek mereka di T Industrial Park.

Antara kesan positif yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar tentulah berkaitan aspek peluang pekerjaan dan juga pendapatan. Selain itu, pelaburan yang sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan baru-baru ini juga dapat mengujudkan sekitar pelaburan yang kondusif dan juga menerima teknologi dengan pantas untuk meningkatkan ekosistem teknologi sektor pembuatan negara. Kehadiran pelaburan yang berkualiti juga dapat menjadi pemangkin untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dengan pemain industri domestik terutamanya dalam bidang bernilai tinggi dan aktiviti penubuhan tinggi. Dalam hal ini, daerah Pontian memainkan peranan yang penting bagi menyokong visi Wilayah Iskandar Malaysia untuk menjadi rantau yang berdaya tahan di mana prinsip-prinsip kemampanan untuk mencapai keseimbangan antara aspek ekonomi, sosial dan persekitaran. Rancangan Struktur Negeri Johor 2020 juga menetapkan hala tuju pembangunan daerah Pontian adalah sebagai pusat pelancongan alam semula jadi dan pagi tadi kita dengar dari YB EXCO Pelancongan bahawanya di Taman Perindustrian Kukup akan dibuka pada tahun hadapan. Pelancongan agro dan warisan, pertanian dan perikanan, pusat perindustrian bahan binaan logam, janakuasa dengan sokongan aktiviti perindustrian, perdagangan dan perkhidmatan, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti.

Pembukaan Jambatan Sungai Pulai pada awal tahun ini juga telah memendekkan jarak dan masa perjalanan ke daerah Pontian dari Johor Bahru seperti mana yang dinyatakan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor sempena pembukaan jambatan ini. Kami menjangkakan ia akan membantu meletakkan daerah Pontian sebagai hab sosial ekonomi baharu di Johor selain merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan nilai hartanah serta menggalakkan pelaburan dan aktiviti perindustrian. Ini juga merupakan komitmen kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan untuk membangunkan semua daerah di Johor. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Kukup.

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO di atas jawapan dan Kukup amat menghargai tentang pembinaan sesuatu pembangunan industri khususnya di kawasan DUN Kukup. Apa yang membimbangkan saya ialah ingin mendapat jaminan daripada kerajaan negeri berhubung dengan sesuatu kelulusan yang dibuat itu atau industri yang dibina ini ialah keterjaminan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan kerana di dalam kajian impak yang dibuat oleh Tropicana Industrial Park baru-baru ini ialah dengan pengambilan hampir lebih 500 pekerja asing daripada luar. Jadi bagaimana kerajaan negeri boleh memberi jaminan kepada kita bahawa setiap sesuatu industri yang terbina di dalam suatu kawasan itu mestilah melebihi beberapa percent diambil daripada penduduk tempatan? Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Ya memang benar isu pekerjaan merupakan isu penting yang dianggap serius oleh Kerajaan Negeri Johor dan juga kerajaan persekutuan Malaysia. Dalam hal ini apabila sesuatu pelaburan masuk ke Malaysia, memang ada satu polisi di negara kita bahawanya apabila sebagai contoh apabila pelaburan tersebut menerima insentif cukai ataupun insentif lain daripada kerajaan persekutuan melalui pihak MIDA, maka kerajaan persekutuan akan tentukan berapa peratusan dari segi peluang pekerjaan yang perlu dikhaskan untuk warga tempatan dan juga berapa peratusan di peringkat pengurusan dan juga di pelbagai peringkat di syarikat tersebut. Dan untuk pekerja secara amnya, polisi kerajaan sekarang adalah sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah pekerja untuk sesuatu projek perlulah diisikan oleh warga Malaysia dan untuk sesuatu projek khas yang melibatkan teknologi yang mungkin susah dicari ataupun didapati di Malaysia, maka pengecualian akan diberikan secara case by case oleh pihak kementerian. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 15.

Memandangkan kepadatan penduduk yang semakin meningkat di daerah Kota Tinggi dan keperluan perubatan yang juga semakin tinggi, adakah kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah hospital daerah yang baru bagi menampung kepadatan pesakit yang ada di Hospital Kota Tinggi dan sekitarnya?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor kepada seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada Pasir Raja. Hospital Kota Tinggi yang berkapasiti 158 katil adalah hospital tanpa pakar yang dibuka pada tahun 1913 bererti dah genap 110 tahun bagi memberikan khidmat perubatan kepada penduduk-penduduk di daerah Kota Tinggi. Hospital Kota Tinggi memberikan khidmat perubatan kepada 223,600 populasi penduduk kawasan bandar dan luar bandar. Terdapat banyak FELDA, estet, kampung-kampung di daerah Kota Tinggi serta menerima kes-kes dari kawasan Tenggaroh, Mersing dan Ulu Tiram, Johor Bahru. Kadar penggunaan katil hospital, Bed Occupancy Rate (BOR) merupakan di antara kriteria penting bagi cadangan pembinaan sesebuah hospital gantian.

Laporan statistik tahunan bagi tahun 2022, menunjukkan kadar pengguna katil Hospital Kota Tinggi yang rendah iaitu 56%. Bagi menjamin mutu perkhidmatan dan penyampaian kesihatan yang berkesan kepada rakyat, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor khususnya sentiasa berusaha menambah baik kemudahan di fasiliti-fasiliti kesihatan termasuk di Hospital Kota Tinggi bagi memastikan keselesaan pesakit dan waris, ruang menunggu telah dibina bagi kemudahan pesakit luar pada tahun 2022.

Selain itu, bagi kemudahan pesakit dalam pula, peruntukan telah diturunkan untuk membina Vacuum Insolate Evaporator (VIE) pada tahun 2022. Selain itu, bagi menampung keperluan perkhidmatan perubatan di daerah Kota Tinggi projek pembinaan Klinik Kesihatan Kota Tinggi Jenis III yang baru juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap dan beroperasi pada hujung tahun hadapan iaitu tahun 2024 dengan peruntukan RM24,977,500.50 dan sehingga kini kemajuan projek di tapak adalah 46.35%. Ia terletak hanya 2 km daripada hospital yang sedia ada.

Untuk makluman juga, seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia ketika sesi pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu, kerajaan telah bersetuju melaksanakan pembinaan hospital iaitu Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia di Sedili, Kota Tinggi dijangka bermula tahun depan dengan peruntukan yang menelan belanja kira-kira RM938 juta. HPUSIM ini dijangka dapat menampung kepadatan pesakit sedia ada di daerah Kota Tinggi dan Mersing. Pihak kementerian sentiasa membuat penilaian secara berterusan dan cadangan membina bangunan tambahan atau gantian akan dipertimbangkan berdasar keperluan dari semasa ke semasa.

Masak nasi dicampur halia, tambah rasa tradisi Johor Lama, klinik baru Kota Tinggi imej yang mulia, sepakat warga Pasir Raja dorong bersama. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan sehingga jam 11.25 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi. Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023.Bill

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat Bukit Kepong, jemput.

Terima kasih YB Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, dan salam Prihatin Johor.

Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat Bukit Kepong terlibat dalam ucapan perbahasan sempena Belanjawan 2024.

Bukit Kepong ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas ulang tahun keputeraan pada 22 November yang lalu. Patik bersama sekalian warga Bukit Kepong turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Baginda Tuanku Sultan atas pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor berserta seluruh kerabat negeri Johor dikurniakan keafiatan dan di bawah lindungan Allah SWT bagi menaungkan patik-patik sekalian.

Patik turut ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA, juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, syabas diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor kerana yang pertama, berjaya membentangkan Belanjawan Johor tahun hadapan pada Khamis yang lepas. Dan yang kedua, atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Ibrahim Johor oleh Tuanku Sultan.

Sesungguhnya secara peribadi Bukit Kepong menyifatkan tema Belanjawan Johor 2024, iaitu “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat” membawa satu pengertian yang sangat besar. Malah terdapat kebenaran apa yang dikatakan oleh Menteri Besar untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 tidak akan dikecapi jika kita semua tidak bersatu hati. Maka, seeloknya, sebetulnya, benarkanlah segala strategi dan inisiatif serta pembangunan yang dirancang turut melimpah ke seluruh ceruk negeri ini tanpa ada satu kawasan pun yang tersisih termasuklah DUN diwakili oleh DUN Pengimbang.

Sekiranya ini dapat diberikan perhatian sudah tentulah usaha untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat akan berlaku dengan secara menyeluruh sekali gus mencerminkan kematangan pentadbiran ini. Setiap kawasan DUN Pengimbang yang mempunyai wakil rakyat masing-masing termasuklah Bukit Kepong, libatkanlah kami dalam setiap perencanaan yang mahu di hadapan oleh kerajaan negeri dan moleklah perjalanan kerajaan, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Belanjawan Johor 2024 yang berpasakkan 6 teras agenda Maju Johor dengan didukung 29 strategi dan bersandarkan 109 inisiatif merupakan sebuah naskhah perancangan untuk tahun hadapan dan mendatang.

Bukit Kepong ingin mengambil kesempatan ini untuk bertanyakan di dalam Dewan yang mulia ini mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Pagoh yang sebelum ini telah dilancarkan pada 2 tahun lalu. Pertanyaan ini dibangkitkan kerana mutakhir ini kerajaan ini pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah memberikan tumpuan kepada penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Zon Kewangan Khas Forest City termasuklah dalam Belanjawan tahun depan yang dibentangkan meskipun masih samar-sama penubuhannya. Sedangkan Zon Ekonomi Khas Pagoh telah pun dilancarkan, maka Bukit Kepong berharap kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan dapat kembali melihat perkara ini, jika Johor mahu mencapai status negeri maju tahun 2030.

Menerusi Zon Ekonomi Khas Pagoh, Wilayah Utara Johor boleh berubah sekali gus menjadi sebuah zon ekonomi berimpak tinggi dengan membawa limpahan manfaat kepada rakyat termasuklah penambahan peluang pekerjaan.

Teras kedua, pembangunan ekonomi pula tidak hanya memberi tumpuan kawasan di Johor Bahru semata-mata, sebaliknya pembangunan yang ingin dilaksanakan mestilah berimbang tanpa mewujudkan keadaan senjang. Oleh itu, kesenjangan tidak boleh berlaku jika mahu negeri Johor menjadi sebuah negeri yang maju. Penyediaan infrastruktur dan prasarana perlu juga bersifat non partisan, dengan izin.

Bukit Kepong mahu kerajaan negeri membangunkan ekonomi secara holistik tanpa ada mana-mana kawasan yang menjadi terasing sedangkan kawasan ini merupakan tanah bumi Johor. Kalau perlu bawa pelaburan atau program bertaraf negeri ke pasaran antarabangsa, Bukit Kepong, Maharani, Endau bahkan Puteri Wangsa sekalipun, silakan kami Ahli-Ahli Dewan Negeri pengimbang bersedia untuk bersama menjayakannya.

Dalam belanjawan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor, tahniah kerana Kerajaan Negeri Johor telah mendapat peruntukan sebesar RM4.7 bilion. Namun, yang ingin Bukit Kepong bertanyakan dan mohon penjelasan adalah pertamanya pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru. Apa jadi dengan Hospital Pasir Gudang yang pernah dulu terbengkalai sebentar? Sewaktu Bukit Kepong menjadi EXCO dan Johor Jaya juga menjadi EXCO, kita telah berjaya meneruskan projek Hospital Pasir Gudang. Diharapkan projek Hospital Pasir Gudang dapat berjalan dengan lancar dan dapat siap pada waktunya.

Yang kedua, telah diumumkan projek Pelebaran Lebuh raya Utara – Selatan daripada 4 kepada 6 lorong yang dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam. Alhamdulillah, kawasan Simpang Renggam merupakan kawasan Dato’ Menteri Besar. Hanya pertanyaan saya ialah, jika kita biasa melalui Lebuh raya PLUS, kita akan keluar melalui Tol Skudai, kita akan jumpa Kulai, kita akan jumpa Sedenak, Simpang Renggam, Machap, Pagoh dan seterusnya, sampailah ke negeri Melaka. Jika projek pelebaran ini hanya daripada Sedenak dan Simpang Renggam, Johor Bahru ke Sedenak 2 lorong, Sedenak ke Simpang Renggam 4 lorong dan Simpang Renggam ke Ayer Keroh 2 lorong. Macam mana dapat memulihkan, melancarkan perjalanan kita jika hendak ke Johor Bahru ataupun ke Kuala Lumpur? 4 lorong, jadi 6 lorong, kembali 4 lorong dan kembali di Ayer Keroh menjadi 6 lorong. Dalam jika kita lihat pada waktu biasa pun, bila kita keluar sahaja Tol Skudai kita dapat jammed masuk ke Tol PLUS.

Jadi, harapan saya ialah supaya pihak yang berkenaan menjelaskan kepada masyarakat bagaimana projek pelebaran ini dapat dilaksanakan? Hari Jumaat lepas, saya ke Kuala Lumpur pukul 5.00 keluar Tol Pagoh, 5.00 petang keluar Tol Pagoh, alhamdulillah 11.00 malam sampai ke Kuala Lumpur. Jadi, 6 jam. Hari Sabtu, saya balik ke Pagoh keluar ke Kuala Lumpur pukul 3.00, alhamdulillah sampai rumah pukul 8.00 malam. Jadi sebetulnya, sepatutnya kita semua kena berusaha, kena memastikan sebetulnya pelebaran Lebuh raya

PLUS hendaklah daripada Ayer Keroh hingga ke Skudai. Jika hanya dibuat separuh-separuh sebetulnya tidak menyelesaikan masalah.

Sepatutnya projek ini tidak menjadi masalah jika kita melihat hanya kami berempat sahaja yang betul-betul pembangkang. Di hadapan saya ini semua adalah pihak kerajaan. Tangkak, keluar Tol Tangkak, pihak kerajaan, keluar Tol Gambir, pihak kerajaan, Pagoh, saya pembangkang. Kemudian, Yong Peng, kerajaan, Machap kerajaan dan seterusnya. Jadi jika kita semua dapat bekerjasama memastikan peruntukan yang lebih ke negeri Johor, saya rasa lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan.

Kita kena pastikan hubungan YB-YB kerajaan dengan Menteri-Menteri baik, supaya lebih banyak peruntukan dapat diturunkan. Begitu juga, hubungan kita YB-YB dan ketua-ketua jabatan, jika semakin baik, semakin akrab, insya-Allah lebih banyak pembangunan dan peruntukan dapat dilaksanakan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Belanjawan Johor 2024 juga telah membawa sebuah naratif penting iaitu perhatian kerajaan negeri terhadap Agenda Keterjaminan Bekalan Makanan. Kita sedar isu bekalan makanan asas yang melanda negara baharu-baharu ini. Tidak terkecuali negeri Johor juga berhadapan dengan kekurangan bekalan makanan dengan kekurangan bekalan makanan asas seperti telur ayam, beras, gula di pasaran yang amat membimbangkan. Mungkin situasi pada masa kini seakan reda sedikit, tetapi ia bukanlah isu atau permasalahan yang bermusim. Isu ini tetap akan berlaku pada bila-bila masa jika kerajaan tidak bersedia atau sambil lewa. Oleh itu, sudah tentu strategi keterjaminan bekalan makanan perlu diupayakan dengan sewajarnya. Baik pelan pembangunan industri padi dan beras, perindustrian selatan, program pembangunan industri ternakan ayam, produktiviti agro makanan, industri dominan, tenusu dan lain-lain. Semua ini perlu dipastikan untuk dapat dilaksanakan bukan sekadar disebut dalam belanjawan tetapi langsung tiada pelaksanaan sehingga tidak menampakkan output untuk menyelesaikan isu keterjaminan makanan. Johor telah menyatakan komitmen untuk memainkan peranan utama sebagai bakul makanan negara, maka pastikan dahulu bekalan untuk negeri agar tidak berhadapan dengan kekurangan makanan.

Baru-baru ini kita semua sedia maklum bahawa negara mengalami isu yang sentiasa berlanjutan. Mula-mula isu minyak masak, kemudian isu beras dan terlalu, bila terlalu banyak isu menyebabkan harga tidak dapat dikawal. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB EXCO Buloh Kasap kerana telah melawat ke tanaman padi di Sawah Reng. Agak melucukan di negeri Johor apabila kawasan padi di Sawah Reng sendiri mengalami kekurangan bekalan air, betul YB ya? Namun alhamdulillah kerana kerjasama yang baik di antara YB EXCO dengan ketua-ketua jabatan isu itu dapat diselesaikan. Terkadang, perlunya ketua jabatan berbincang dengan YB EXCO untuk mengambil tindakan yang segera. Saya ucapkan tahniahlah, kerana saya dimaklumkan setelah YB EXCO turun isu itu dapat diselesaikan. Isu yang simple apabila dipasang drone, lihat ke atas rupanya empangan kita telah kering disedut oleh pengusaha-pengusaha durian di kawasan tersebut. Jadi, harapan saya ialah supaya semoga isu-isu ini tidak terjadi di masa akan datang. Memang penting untuk menggunakan teknologi terkini, Alhamdulillah, gunakanlah drone sebaik mungkin. Begitu juga dengan Jabatan Perhutanan, gunakanlah drone untuk melihat apa, penebangan hutan jika ada yang tidak mendapat izin.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Johor telah menyatakan komitmen untuk memainkan peranan utama sebagai bakul makanan negara, maka pastikan dahulu bekalan untuk negeri agar tidak berhadapan dengan kekurangan. Pastikan agenda keterjaminan bekalan makanan dan belanjawan negeri Johor ke hadapan membawa kepada usaha menyediakan dan mencukupkan stok bekalan untuk Bangsa Johor terlebih dahulu. Kemudian, sekiranya terdapat lebihan mampu untuk kita agihkan dan sediakan kepada

negeri lain mahupun negara tanpa sedikit menggugat bekalan untuk negeri Johor bolehlah meneruskan peranan sebagai bakul bekalan negara.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di sini saya juga ingin memohon penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri Besar tentang hutang bagi Kerajaan Negeri Johor. Kerana sewaktu saya berada di Kerajaan Pakatan Harapan, waktu itu diterajui oleh YB Dato’ Osman Sapian dan kemudian saya, kita telah berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri Johor daripada RM330 juta lebih kepada tinggal RM100 lebih, iaitu kita dapat pengurangan kalau tidak silap saya adalah sebanyak RM180 juta iaitu projek luar bandar. Kemudian apakah terjadi dengan bakinya kerana pada Belanjawan 2019 telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada waktu itu bahawa perbincangan telah berada di tahap akhir untuk menyelesaikan baki hutang negeri Johor. Jadi, saya harap bahawa hutang ini dapat diselesaikan dan lebih banyak lagi pembangunan yang dibawa ke negeri Johor kerana sebetulnya negeri Johor ini negeri yang hebat, negeri Johor mempunyai banyak hasil negerinya. Jadi, jika kita negeri yang hebat hasil banyak, sebetulnya kita tidak memerlukan penambahan hutang untuk pembangunan negeri Johor.

Saya cukup yakin bahawa jika kita semua bergerak aktif, kita semua dapat bekerjasama dengan ketua jabatan, saya rasa kita beruntung di negeri Johor ini. Semua ketua-ketua jabatan sangat membantu, sangat mesra, sangat akrab kepada kita YB-YB tidak kira pembangkang ataupun YB-YB pengimbang kerajaan. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada DO Muar, YDP Muar dan semua DO-DO yang banyak membantu kami, kerajaan untuk melaksanakan program-program, projek-projek di kawasan dan saya cukup yakin bahawa jika kita dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat antara agensi-agensi kerajaan di negeri Johor dan Menteri-Menteri di pusat saya cukup yakin bahawa akan lebih banyak lagi pembangunan yang dapat kita bawa ke negeri Johor. Kalau boleh kita kurangkanlah hutang di negeri Johor kan? Kita boleh minta dengan mana-mana developer-developer yang berhutang dengan kita.

Waktu saya jadi Menteri Besar, ada satu kisah yang sangat menariklah. Ada seorang developer bercerita dengan saya tentang pembangunan di negeri Johor A, B, C, D, E, F. Dia cerita hendak beli itu, hendak beli ini, hendak beli itu, hendak beli ini. Beli kapal terbanglah, helikopterlah, dia present depan saya. Saya berbincang dengan pegawai kerajaan, company tersebut ini ada hutang tak dengan kerajaan negeri? Dan ternyata ada hutang dengan kerajaan negeri. Tindakan pertama saya ialah mudah sahaja, saya call sahaja, kan? Tolong bayar hutang, jika anda bayar hutang kerana hasil daripada pembayaran hutang itulah untuk kita buat pembangunan di negeri Johor. Dan saya rasa jika tuan-tuan, puan-puan YB-YB di sini proaktif, bukan surplus, bukan hanya RM2 juta mungkin lebih daripada itu, mungkin RM10 juta dan RM20 juta. Harapan saya ialah YB-YB EXCO, semua berkerjasama dengan ketua jabatan dan bergeraklah berjumpa dengan Menteri-Menteri untuk pastikan pembangunan di kawasan kita di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jadi saya harap, saya harap dengan bila YB-YB EXCO dan YB-YB rajin untuk bertemu dengan Menteri-Menteri, rajin untuk datang ke Dewan, rajin untuk ke Mesyuarat EXCO, saya rasa insya-Allah pembangunan di negeri Johor akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan masa yang tidak mengizinkan Bukit Kepong ingin menyentuh beberapa perkara lain secara berskala dan kesemua perkara ini tidak lain melibatkan pemasalahan rakyat di DUN Bukit Kepong. Bukit Kepong berharap penglibatan secara menyeluruh dalam gerak tindakan penglibatan mahu pun perancangan daripada kerajaan negeri bersifat rentas politik. Sebagai contoh, inisiatif Johor Kasih yang merupakan program pembasmian miskin tegar di negeri Johor berkonsepkan keluarga angkat melibatkan pemimpin di pelbagai peringkat termasuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar, EXCO Kerajaan Johor, Ahli-Ahli Dewan Negeri dan lain-lain. Ini amat signifikan bagi Bukit

Kepong dan Bukit Kepong bersedia untuk assist bagi menjayakan inisiatif murni kerajaan negeri agar hasrat menoktahkan miskin tegar di Johor mencapai matlamatnya. Alhamdulillah, Bukit Kepong juga telah menjadi, ada 30 anak angkat yang Bukit Kepong bantu. Alhamdulillah, terima kasih juga atas bantuan beras daripada Kerajaan Negeri Johor. Apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengumumkan inisiatif ini, Bukit Kepong dengan berlapang dada mahu memastikan pembasmian miskin tegar di DUN diwakili akan dapat dilaksanakan dan dijayakan. Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif lain, janganlah dilaksanakan hanya di lokasi-lokasi terpilih sahaja. Kalau hendak buat Jualan Kasih Johor, buat di semua tempat, hendak membina baharu atau baik pulih infrastruktur dan prasarana biarlah mencakupi kawasan DUN pengimbang juga. Bukit Kepong juga mahu kerajaan negeri untuk melihat tanah-tanah milik kerajaan yang dapat dibina dengan lebih banyak rumah-rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat di DUN Bukit Kepong tidak kiralah PPR, RMMJ mahupun Residensi Bangsa Johor. Selain itu Bukit Kepong berharap usaha penubuhan unit bantuan kecemasan dan bencana yang mendapat peruntukan RM4.15 juta dapat diperluaskan ke pihak-pihak berkuasa PBT lain, khususnya di Muar, Segamat, Tangkak, utara Johor juga antara wilayah terkesan teruk akibat bencana banjir.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa.

Dato’ Dr. Sahruddin bin Haji JamalBERSATU · PNBukit Kepong

Sikit lagi. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Bukit Kepong merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana memberi peluang kepada Bukit Kepong menyampaikan ucapan perbahasan pada hari ini. Demi rakyat dan negeri ini, Bukit Kepong bersama rakyat-rakyat di barisan atau blok pengimbang akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri. Semoga dengan komitmen luar biasa pegawai-pegawai tadbir negeri Johor bersama anggota perkhidmatan awam negeri Johor setiap strategi dan inisiatif dalam Belanjawan Johor 2024 akan dapat direalisasikan. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Kepong. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz, barisan EXCO dan rakan ADUN sekalian. Pertama sekali terima kasih diucapkan atas peluang yang dibagi untuk saya membahas di Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam pembahasan saya hari ini saya akan membentangkan dua topik utama iaitu isu prasarana di DUN Jementah dan industri pelancongan di Johor. Saya telah membangkitkan usul mengenai sistem infrastruktur di dalam negeri Johor semasa Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15. Terlebih dahulu patik merafak sembah terima kasih kepada Tuanku yang sentiasa mengambil berat kebajikan Bangsa Johor dan perkembangan ekonomi negeri Johor. Tuanku bukan sahaja satu kali bertitah dan menggesa kerajaan persekutuan perlu mengambil tindakan bagi mengatasi isu lebuh raya yang tidak mampu lagi menampung keperluan semasa. Syukurnya Bangsa Johor sentiasa diberkati di bawah pentadbiran Tuanku. Bersama ini saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas menyambut baik cadangan Duli Yang Maha Mulia dan membentang untuk peruntukan sebanyak RM931 juta bagi menaiktarafkan Lebuh raya Utara – Selatan dari Sedenak ke Simpang Renggam dalam Bajet 2024. Walau bagaimanapun, sekali lagi saya menyeru kepada kerajaan persekutuan supaya mengkaji semula tentang pembinaan plaza tol masuk di Jementah atau Segamat.

Bandar Segamat bagai dianaktirikan selama ini. Saya ditertawakan oleh orang ramai semasa saya membentang usul ini pada tahun lepas. Bagaikan permohonan ini satu

gurauan yang tidak masuk akal. Adakah ini maksud kepentingan anak-anak bandar Segamat tidak perlu diambil berat. Saya memahami Segamat yang berkedudukan pendalaman berjarak jauh dari rangkai Lebuh raya Utara – Selatan menyebabkan kos pembinaan jalan pintas ini terlalu tinggi. Para pelabur berpendapat bahawa jarak jauh dari lebuh raya menyebabkan kos pengangkutan tinggi dan membebankan. Masa perjalanan yang panjang juga tidak menggalakkan pelaburan. Rantaian logistik yang sempurna memainkan peranan yang penting bagi memperkembangkan kegiatan ekonomi. Dengan adanya asas infrastruktur yang sempurna ini akan menarik pelaburan dari sektor swasta. Secara langsungnya ini mendorong perkembangan sektor pertanian dan seterusnya sektor perindustrian. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan Segamat merupakan salah satu daerah yang mengeluarkan hasil tanaman durian dan sawit yang terbanyak di Malaysia. Tanaman ini menyumbang banyak kepada dana negara dari segi cukai dan levi pekerja asing. Justeru, demi kemajuan negara dan ekonomi yang mampan saya memohon kerajaan persekutuan mempertimbangkan pembinaan jalan pintas yang menjalinkan Segamat dengan Lebuh raya Utara – Selatan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tuan-tuan dan puan-puan pembahasan saya hari ini merupakan pembahasan ketiga saya dalam Dewan yang mulia ini. Setiap kai pembahasan saya akan mengungkit isu banjir yang berlaku di Segamat. Setiap bulan Disember penganut Kristian tungkus lumus bersiap sedia untuk hari Krismas. Ironinya, warga Segamat sibuk bersiap sedia untuk banjir. Banjir teruk melanda Segamat di tahun 2006, 2011 dan bulan Mac yang lalu mengakibatkan laluan utama yang masuk ke Segamat terputus. Bandar Segamat bagaikan pulau semasa banjir. Walaupun air sungai surut selepas 2 hari, kebanyakan jalan masih tidak dapat dilalui untuk masuk ke bandar Segamat dan mengakibatkan bantuan mengambil masa yang panjang untuk dihantar masuk kepada mangsa.

Percaya ke tidak, perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat ketika banjir mengambil masa selama 6 jam, sedangkan saya hanya mengambil masa 3 jam untuk datang ke Dewan ini dari Segamat. Banjir dahsyat berlaku ulang-ulang kali amat menyedihkan dan mengecewakan warga Segamat. Dalam dua dekad ini kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini secara kekal. Pembinaan jalan alternatif merupakan salah satu pilihan bagi mengatasi masalah ini. Justeru, saya memohon supaya kerajaan persekutuan mengkaji untuk membina satu jalan susur dari Lebuh Raya Utara – Selatan ke Segamat.

Kebajikan dan keselamatan warga Segamat tidak patut diabaikan atas alasan kos yang tertinggi ataupun jarak yang jauh daripada lingkaran lebuh raya. Jalan pintas ini dijangka akan melegakan kesesakan ketika banjir dan menjadi satu jalan alternatif bagi pasukan keselamatan untuk menghantarkan bantuan dalam kejadian banjir di Segamat dalam masa yang tersingkat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Bangsa Johor telah memberikan amanah kepada kita sejak Mac 2022. Dalam hampir 2 tahun ini, rakyat memang sentiasa menilai dan memantau prestasi kita semua. Kita tidak menafikan bahawa kebanyakan ADUN memang sangat rajin dan bertanggungjawab menjalankan tugas. Akan tetapi, kita semua memahami kita masih ketinggalan jauh dari dugaan rakyat terutama dari segi pembinaan asas infrastruktur dan kemudahan awam terutama di kawasan luar bandar. Sistem infrastruktur atau prasarana merupakan pemangkin bagi menjana ekonomi dan demi kebajikan rakyat. Duka hatinya sistem pentadbiran yang lemah dan perancangan yang tidak sistematik atau tidak futurisme membawa kesulitan kepada rakyat.

Aduan kerap diterima apabila kerja-kerja menaik taraf atau pembaikan infrastruktur dijalankan. Saya percaya bukan sahaja penduduk di kawasan Jementah sahaja mengadu tentang sistem pengurusan kerja pembaikan atau naik taraf. Pengurusan projek melibatkan perancangan keseluruhan, pengawalan dan koordinasi projek sepatutnya bermula dari

peringkat mula sehingga projek tersebut dilengkapkan bagi memenuhi keperluan rakyat. Akan tetapi adakah semua projek yang dijalankan dipantau dengan sepenuhnya?

Sering kali kita terima berbagai aduan, antaranya termasuk ketidakpuasan hati atas kerja-kerja konsesi atau kontraktor, kondisi jalan yang tidak rata selepas kerja-kerja oleh agensi-agensi seperti SAJ, TNB atau UNIFI serta kesesakan jalan yang disebabkan masa perlaksanaan projek yang tidak sesuai ataupun jangka masa yang terlalu panjang. Masalah yang tertimbul dari pembangunan infrastruktur seperti longkang atau bangunan termasuk pembinaan yang tidak praktikal. Ini mengakibatkan pengguna terpaksa mengguna kos sendiri untuk menambah baik selepas perlaksanaan projek.

Manakala masalah projek jalan pula membawa kesulitan kepada pengguna dan menambah risiko terutama kepada penunggang motosikal. Kemalangan yang berlaku di kawasan seperti yang disebut berulang-ulang kali berlaku. Apabila perkara ini dipersoalkan semua pihak yang terlibat membahagikan berbagai alasan. Saya ingin menegaskan, meski tertimbun dalam tanah, namun keras timbul juga. Jangan menanggap warga Johor masih berzaman purba. Hakikat ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian dana kerajaan tetapi juga mencemarkan nama baik pihak pentadbiran.

Dalam Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke 15, saya dapat jawapan balasan daripada Yang Berhormat EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Dato’ Haji Mohd Jafni bahawa selain daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang, tiada aplikasi seragam yang digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor bagi tujuan menyemak kerja-kerja yang dijalankan oleh kontraktor. MPPG menggunakan sistem e-Maintenance untuk memantau dan menilai kerja-kerja kontraktor. Syabas saya ucapkan kepada MPPG.

Ini satu langkah yang menunjukkan inisiatif kerajaan yang sangat baik bagi menekankan perlaksanaan projek-projek yang lebih tersusun dan produktif. Saya memohon supaya semua agensi kerajaan tempatan yang lain turut membentuk aplikasi yang sama bagi memantau kerja-kerja konsesi. Sistem sedemikian bertujuan mengawasi operasi konsesi-konsesi yang terlibat dalam projek menaik taraf atau pembinaan. Sebagai penyelaras antara pihak pentadbiran dan rakyat, memantau aliran kerja serta menjaga kepatuhan kepada piawai kualiti projek. Sistem aplikasi ini patut diwujudkan bagi menyambut baik saranan rakyat Malaysia supaya tiada sebarang dana negara atau bersamaan titik peluh pencarum cukai dibazirkan.

Pada masa yang sama ia juga merupakan satu aplikasi bagi mengelakkan kesalah fahaman antara orang umum dengan pihak pentadbiran. Sebagai manusia kita tidak terlepas melakukan kesilapan, tetapi elakkan jadikan kesalahan ini sebagai satu tabiat. Kita perlu ada kesedaran dan patut memikul tanggungjawab dan obligasi sebagai seseorang yang dilantik demi negara yang lebih maju, demi masyarakat dan demi anak cucu kita semua.

Isu yang kedua berkenaan pembinaan infrastruktur atau prasarana adalah masalah futurisme. Hasrat murni kerajaan menyediakan kemudahan awam kepada rakyat tidak pernah diragui. Namun, perancangan kerajaan yang tidak bersifat futurisme tetap menjadi salah satu faktor menzahirkan rungutan rakyat. Pembangunan futurisme yang saya merujuk adalah pembinaan atau pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang bukan sahaja mampu memenuhi keperluan semasa penduduk, malah merangkumi keperluan jangka masa depan dalam sekurang-kurangnya 20 tahun hadapan.

Pembangunan yang mampan harus dirancang dengan lebih komprehensif, sistematik dan inovatif. Buat masa sekarang, kebanyakan pembinaan prasarana atau projek menaik taraf tidak dirancang dengan melibatkan elemen-elemen perkembangan kawasan perumahan, peningkatan bilangan penduduk dan perindustrian masa hadapan, lebih-lebih lagi

pembangunan prasarana di Malaysia masih di tahap kurang efisien dan efektif. Proses perancangan dari peringkat permulaan ke peringkat perlaksanaan mengambil yang terlalu panjang dan membazirkan tenaga manusia.

Sistem pentadbiran berkenaan perancangan di peringkat negeri atau negara perlu diperlicinkan supaya ekonomi negara di pacu setaraf dengan kemajuan negara-negara berjiranan. Saya tidak berniat untuk membandingkan negara atau negeri kita dengan negara yang lain tetapi kita patut sentiasa bersikap terbuka, rendah diri dan sanggup belajar dari negara yang lebih maju dan canggih dari segi teknologi. Salah satu negara yang kita oleh contohi adalah Singapura yang terkenal sebagai negara yang terancang di tahap antarabangsa.

GDP di Singapura pada tahun 1960 an adalah 320,000 USD per kapita dan memecut ke 82,800 USD pada tahun lepas. Seoul, ibu negara Korea Selatan juga merupakan salah satu bandar yang termiskin di dunia dan menjadi bandar metropolitan dalam jangka masa 50 tahun. Seoul berjaya mengatasi masalah perbandaran dan menjadi salah satu smart city. Saya memohon supaya semua Ahli-Ahli Jawatankuasa serta pegawai kerajaan memandang berat isu-isu yang terbabit dalam perancangan di segala peringkat. Perancangan negara bukan sahaja demi kebajikan rakyat tetapi penting bagi membangunkan ekonomi negara. Negara kita kaya dengan pelbagai sumber semula jadi. Saya sangat yakin negara kita mampu menandingi kedua-dua negara ini jika kita semua bekerjasama dan berusaha dengan tekad dan integriti.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sektor industri di Segamat tidak mampu menandingi daerah Batu Pahat yang dikenali sebagai pusat tekstil negara atau daerah Muar yang terkenal dengan pengeluaran perabot ke pasaran antarabangsa. Walau bagaimanapun, kedudukan Segamat yang berjiranan dengan 3 negeri iaitu Negeri Sembilan, negeri Melaka dan negeri Pahang dilihat sebagai lokasi yang begitu strategik bagi industri pelancongan. Tambahan lagi, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pindaan 2022 bagi menjadikan daerah Segamat sebagai sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau lebih dikenali sebagai ECER pada Julai 2022.

Ini menunjukkan pembinaan asas infrastruktur di sekitar Segamat akan diperkukuhkan lagi. Landasan berkembar sistem train electric atau lebih dikenali sebagai ETS yang bakal beroperasi pada tahun 2024 diharapkan dapat menghasilkan daya lonjakan dalam industri pelancongan negeri Johor juga. Namun begitu, asas infrastruktur ini tidak mampu mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan bagi menarik perhatian penduduk tempatan dan luar negeri, apatah lagi pelancong dari luar negara.

Umumnya, diketahui sektor pelancongan merupakan salah satu sektor yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara atau negeri. Maka saya memohon supaya kerajaan negeri merencanakan satu mekanisme yang strategik bagi memperkukuhkan dan memajukan sektor pelancongan di Johor dan seterusnya ke Segamat.

Di sini dengan rendah dirinya saya memberikan beberapa cadangan. Dalam generasi baharu ini internet digunakan untuk menyebar informasi, kebanyakan negara menggunakan kaedah ini melalui program berkolaborasi dengan selebriti atau lebih dikenali sebagai influencer. Kaedah yang mengajak selebriti dapat menarik minat para peminat mereka untuk turut serta melawat tempat-tempat yang disyorkan. Saya mencadangkan Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor mengkaji kaedah ini bagi mempromosikan negeri Johor kepada warga luar negara mahupun warga Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertama sekalinya Kementerian Kesihatan Malaysia menganjurkan program Flagship Medical Tourism Hospital di Malaysia. Program ini merupakan satu penanda aras baru dalam pelancongan penjagaan kesihatan global. Misi program ini untuk menjadikan Malaysia sebagai ikon pelancongan penjagaan kesihatan yang terkenal di seluruh dunia. Pelancongan perubatan telah bermula di negara kita sejak 20 tahun yang lalu. Kebanyakan pelancong ini datang dari ASEAN, terutamanya Indonesia. Ini adalah sebab kos medical, sorry kos perubatan yang lebih murah dan kemudahan perubatan yang lebih moden dan canggih.

Tetapi kebanyakan mereka memilih untuk mendapatkan rawatan di Melaka, Pulau Pinang ataupun Kuala Lumpur. Kita mempunyai 12 buah hospital kerajaan dan 38 buah hospital swasta di sekitar Johor buat masa sekarang. Kita patut merebut peluang ini dan perlu berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan fasiliti di hospital dalam negeri Johor bagi memenuhi kriteria atau syarat yang tertakluk dalam program ini. Melalui program Flagship Medical Tourism Hospital negeri kita akan menjadi buah mulut di pasaran antarabangsa. Ini merupakan peluang emas untuk mempromosikan negeri kita sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja sesuai untuk pertanian dan perindustrian tetapi sesuai untuk beriadah dan menerima perubatan juga.

Saya mohon supaya Yang Berhormat EXCO Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan berkoordinasi dengan Yang Berhormat EXCO Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya dengan sesungguhnya untuk menjayakan program ini.

Selain itu, acara atau pun kejohanan sukan peringkat antarabangsa atau negeri merupakan salah satu kaedah untuk mempromosikan keunikan dan keindahan negeri tercinta kita. Contohnya Sukan Komanwel pada tahun 1998. Dari laporan MIDA, sempena acara Komanwel dijalankan setiap pelawat dari luar negara secara puratanya telah berbelanja sebanyak RM3,800.00 dan menginap di Malaysia sebanyak 12.5 malam. Ini membuktikan walaupun langkah penganjuran acara sukan mungkin melibatkan perbelanjaan yang tinggi tetapi hasil penganjuran akan memberikan pulangan yang berbaloi dalam sektor perindustrian. Sebagai gulungan untuk perbahasan saya, saya ingin menegaskan sistem infrastruktur dan sektor pelancongan saling memain peranan yang penting antara satu sama lain. Kita perlukan sistem infrastruktur untuk akses ke tempat pelancongan. Manakala sektor pelancongan akan menjana dana kepada kerajaan untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur.

Sebelum saya gulungkan perbahasan saya hari ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini menegaskan sekali lagi bahawa kita barisan pengimbang bersama dengan Ketua Pengimbang menerima Bajet Johor 2024 dengan hati yang ikhlas. Kita juga sentiasa bersikap terbuka dan terima sebarang usul atau cadangan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan baik, yang baik demi Bangsa Johor. Perkataan pura-pura dalam perbahasan Yang Berhormat Kukup agak kasar dan tidak sesuai. Sila ingatkan titah Tuanku sempena hari keputeraan bahawa Tuanku harap semua pemimpin patut bertolak ansur dan hormat-menghormati di antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat. Sekian perbahasan saya. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Jementah, seterusnya dijemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam sejahtera, salam sihat, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan.

Awal bicara ini, Bekok merafak sembah dan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni

Almarhum Sultan Iskandar, Sultan bagi negeri Johor. Dan Bekok juga merafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong mulai 31.1.2024 akan datang.

Bagi meneruskan ucapan menyokong pembentangan belanjawan Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2024. Terlebih dahulu, Bekok mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah membentangkan belanjawan negeri Johor bagi tahun 2024 bertemakan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, yang saya sifatkan sebagai belanjawan yang memenuhi aspirasi rakyat pelbagai agama, bangsa dan pelbagai taraf kehidupan di dalam negeri Johor.

Saya juga mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah menyelitkan peribahasa Cina yang membawa maksud, ‘walau apa pun keadaan, kita tidak boleh berhenti membiayai pendidikan”. Usaha yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini sedikit sebanyak menyuntik semangat dan keyakinan bangsa Cina negeri Johor bahawa mereka sentiasa mendapat prihatin dalam setiap belanjawan yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Johor setiap tahun. Bekok penuh yakin dan percaya bahawa Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kini akan terus maju membawa Johor ke dimensi baharu pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor yang berjiwa rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Bekok menyokong penuh pembentangan belanjawan Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2024. Bagi menyokong pembentangan Belanjawan Tahun 2024, Bekok amat tertarik dengan isu vandalisme yang masih berlaku di dalam negeri Johor, meski pun pentadbiran kerajaan negeri telus, gigih berusaha untuk membangunkan negeri Johor sekarang ini. Vandalisme jenayah moral seperti menconteng, mengotori, merosakkan harta awam. Bukanlah perkara baharu bahayanya dianggap sebagai gejala dan masalah sosial yang masih berlaku di dalam negeri Johor dan sukar dibendung atau dikawal. Vandalisme sering dikaitkan dengan remaja kerana golongan ini mudah terpengaruh dengan gejala atau budaya tidak sihat ini. Kebiasaannya gejala ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan kerana rasa tidak puas hati segelintir masyarakat dan ianya menjadi tabiat segelintir masyarakat untuk menghilangkan kebosanan semata-mata.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mencadangkan untuk menyelesaikan isu vandalisme yang majoritinya adalah golongan remaja yang masih meraba-raba untuk mencari identiti dalam kehidupan mereka. Pertama, langkah untuk membendung gejala negatif ini adalah dengan mendidik setiap lapisan masyarakat tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jelas bahawa dengan pendidikan menghargai harta benda awam vandalisme dapat dibendung.

Kedua, selepas mendidik masyarakat untuk menghargai harta benda awam, perbuatan vandalisme boleh diatasi dengan memberikan ruang kepada mereka untuk menginspirasi diri atau berkarya. Kerajaan Negeri Johor melalui Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Daerah boleh menyediakan kemudahan seperti menyediakan ruang atau sudut untuk mereka-mereka ini mencurahkan kreativiti-kreativiti mereka di tempat-tempat yang sesuai.

Ketiga, selaras dengan langkah-langkah di atas, aktiviti vandalisme juga dapat diatasi dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Secara peribadi, mereka yang melalukan kesalahan vandalisme wajar didenda. Memperbetulkan semula vandalisme yang dilakukan dengan kos yang ditanggung oleh pesalah sendiri dan membaiki kawasan tersebut pada tempoh tertentu.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan, Kerajaan Negeri Johor juga perlu menggalakkan jabatan-jabatan yang lebih hampir dengan golongan remaja ini seperti Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat-Pejabat Daerah, Polis DiRaja Malaysia dan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat mengadakan program-program khusus secara konsisten dan berterusan bagi menyalurkan maklumat dan pendidikan yang berkaitan kepada golongan remaja mengenai jenayah vandalisme. Antara kursus-kursus seperti:-

1. Kursus pendek di kalangan remaja di sekolah-sekolah.

2. Mengadakan kursus-kursus motivasi, khusus mengenai vandalisme.

3. Mengaktifkan Kumpulan Rakan Sebaya dalam masyarakat ataupun di sekolah-sekolah bagi membimbing remaja yang bermasalah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di sini juga izinkan saya untuk membawa permasalahan dan harapan rakyat di kawasan saya selari dengan usaha Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan jajaran kepimpinan negeri Johor untuk memakmurkan negeri Johor yang telah digambarkan melalui pembentangan Belanjawan Tahun 2024 negeri Johor oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor.

Terlebih dahulu, saya mewakili rakyat di dalam kawasan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infra, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah meluluskan peruntukan bagi memasang lampu solar di kawasan yang sering berlaku kemalangan di Jalan Muar- Labis.

Kedua, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini, mengenai permasalahan pemilikan rumah mampu milik di kalangan rakyat di dalam DUN Bekok. Sebagaimana yang semua sedia maklum, pada tahun 2017 bahawa satu ketika dulu rakyat DUN Bekok telah menerima berita gembira bahawa satu kawasan berhampiran dengan perkampungan Desa Temu Jodoh, Chaah akan didirikan kawasan rumah mampu milik yang akan diusahakan oleh anak syarikat Perumahan Negara (SPNB) tetapi bila kerajaan Barisan Nasional gagal menubuhkan Kerajaan Negeri Johor selepas PRU-14 yang lalu, projek perumahan rumah mampu milik yang telah dirancang di Desa Temu Jodoh pada waktu itu telah dibatalkan.

Oleh yang demikian, saya selaku ADUN Bekok merayu kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi yang sangat prihatin dengan kebajikan rakyat Johor. Dan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor melalui pembentangan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2024 yang telah mensasarkan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di dalam negeri Johor. Bekok mengharapkan agar Kerajaan Negeri Johor dapat memberi setinggi-tinggi perhatian agar diusahakan kembali projek perumahan mampu milik di dalam DUN Bekok. Inilah sebenarnya harapan rakyat di dalam DUN Bekok kepada Kerajaan Negeri Johor yang memerlukan rumah sendiri untuk keselesaan keluarga mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu tempatan seterusnya yang saya ingin bangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini, adalah masalah pembangunan di dalam kawasan Majlis Daerah Labis. Pertamanya, tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sendayan, Taman Wijaya Labis dan di Taman Bukit Indah, Labis.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Sidang Dewan yang dimuliakan, bahawa isu yang telah berlaku 8 bulan yang lalu. Setelah berlaku kejadian banjir besar di Labis pada 1.3.2023 yang lalu, namun Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Labis akan mengambil tindakan membaik pulih tanah runtuh di Jalan Sendayan, Taman

Wijaya dan Taman Bukit Indah, Labis pada 1.12.2023. Sebab saya bagi pihak masyarakat sekitar merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan tempatan, Majlis Daerah Labis dan syarikat konsesi atas tindakan tersebut.

Di sini juga saya nyatakan bahawa terdapat satu lagi mendapan tanah di Jalan Sendayan Taman Wijaya Labis bersebelahan dengan kawasan yang saya sebutkan tadi. Yang memberikan impak yang merbahaya juga kepada penduduk sekitar. Saya memohon pihak yang bertanggungjawab agar dapat mengambil tindakan pantas sebelum perkara bertambah teruk. Keduanya, masalah parit di dalam kawasan Majlis Daerah Labis banyak telah rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi mengalir air hujan ke kawasan sepatutnya. Untuk makluman saya telah mendapatkan maklumat daripada Ahli Majlis, Majlis Daerah Labis terdapat usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Labis bagi meningkatkan hasil antaranya adalah pelaksanaan penilaian semula semakan semula kadar sewa aset Majlis Daerah Labis dan pelaksanaan parking berbayar. Walau bagaimanapun bagi pelaksanaan parking berbayar ini adalah tidak sesuai dilaksanakan kerana Labis adalah kawasan pendalaman yang terdiri daripada kawasan pertanian, FELDA-FELDA, estate dan kampung-kampung. Selain itu, ekonomi Labis adalah bergantung sepenuhnya kepada masyarakat setempat. Dari segi perindustrian adalah tidak banyak di kawasan Majlis Daerah Labis. Oleh yang demikian, saya memohon prihatin daripada pihak Kerajaan Negeri Johor melalui Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor agar dapat membantu dan menambah sejumlah peruntukan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan peruntukan bagi menyelesaikan masalah kemudahan asas di dalam kawasan Majlis Daerah Labis.

Cuaca Monsun Timur Laut dijangka akan membadai negeri Johor sehingga awal Mac tahun 2024. Saya mengharapkan agar pihak Kerajaan Negeri Johor melalui agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk membaik pulih tanah-tanah runtuh selepas pasca banjir yang lalu dapat menyegerakan kerja-kerja membaik pulih sebelum menjadi bertambah buruk, teruk.

Yang Berhormat Timbalan Speaker, dan saya, yang terakhir mengenai pelaksanaan kerja-kerja syarikat konsesi di kawasan saya. Sebagaimana kita sedia maklum kerja-kerja membaik pulih bagi jalan-jalan majlis di negeri Johor telah dilaksanakan oleh pihak syarikat konsesi bagi kawasan daerah Kecil Labis. Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh Safwa Global Sdn. Bhd. cawangan Pagoh. Di mana cawangan Pagoh juga melaksanakan kerja-kerja bagi daerah Muar, Tangkak dan Segamat. Saya telah mendapat makluman daripada Ahli Majlis Daerah Labis dan mendapati bermula daripada tahun 2020 sehingga kini terdapat 62 aduan yang memerlukan tindakan pihak syarikat konsesi. Oleh itu, saya mencadangkan agar syarikat konsesi terlebih dahulu merujukkan kepada PBT yang berkaitan dalam menyelia perancangan kerja-kerja yang hendak dilaksanakan supaya kerja-kerja ini dapat diberi keutamaan dan tidak berlaku kejadian di mana jalan yang masih dalam keadaan baik diturap semula tetapi jalan yang memerlukan perbaiki tidak diambil tindakan. Saya memaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini adalah bertujuan supaya peruntukan Kerajaan Negeri Johor yang disalurkan melalui syarikat konsesi tersebut tidak dibazirkan bagi membaik pulih kawasan tidak sepatutnya.

Selain daripada itu, juga dapat mengelakkan tanggapan negatif rakyat bahawa projek-projek kerajaan Johor tidak diurus dengan baik. Akhirnya dua rangkap pantun untuk semua. Dari Bekok ke Nusajaya, bawa amanah dan harapan rakyat, pembentangan belanjawan penuh bergaya, gambaran Johor Maju untuk rakyat. Johor bertuah negeri makmur, dikurniakan pemimpin yang berkarisma, kalau kita dipanjangkan umur, Johor Maju kita kecapi bersama.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk turut membahaskan pembentangan belanjawan Kerajaan Negeri Johor bagi Tahun 2024. Dengan ini Bekok mohon menyokong. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bekok. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Bentayan.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Salam sejahtera dan selamat tengah hari. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jutaan terima kasih diucapkan atas peluang yang diberikan kepada Bentayan untuk mengambil bahagian dalam pembahasan Belanjawan Negeri Johor bagi Tahun 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis lepas di dalam Dewan yang mulia ini. Bentayan ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Bentayan juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pemilihan baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Ke-17.

Bentayan juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) yang membawa gelaran Dato’.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pelaksanaan setiap strategi dan inisiatif dalam belanjawan negeri setiap tahun adalah penting untuk memastikan setiap langkah atau agenda strategi yang akan dilaksanakan dapat memberi manfaat dan impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri dan semua golongan yang disasarkan. Jadi, Bentayan ingin tahu berapakah peratusan daripada 35 strategi ataupun 143 inisiatif yang dibentangkan pada belanjawan 2023 yang telah berjaya dilaksanakan dan peratusan inisiatif yang gagal atau tidak dapat dilaksanakan? Dan apakah faktor penyebab kepada kegagalan tersebut? Apakah impak bagi setiap inisiatif atau strategi kepada ekonomi negeri atau golongan yang disasarkan? Kita perlu mengkaji keberkesanan setiap pelaksanaan bagi setiap inisiatif sebelum ini sebagai lesson learn dengan izin, supaya langkah-langkah penambah baik boleh diambil pada tahun depan bagi melaksanakan semua inisiatif belanjawan negeri 2024 dengan lebih berkesan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan Mac yang lepas telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.vBentayan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Ahli Jawatankuasa yang telah mencapai misi matlamat dalam tempoh 6 bulan di mana satu penyata telah dibentang di Dewan yang mulia ini pada mesyuarat yang lepas. Jawatankuasa ini telah berjaya mengenal pasti punca-punca perubahan iklim yang mendatangkan kesan seperti bencana banjir yang sering berlaku di negeri ini. Beberapa cadangan juga telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri Johor. Sehubungan dengan ini, apakah tindakan susulan kerajaan negeri terhadap semua cadangan ini? Bentayan faham bahawa isu banjir ini mengambil masa yang agak lama untuk diatasi dan cadangan ini perlu diterjemahkan kepada satu pelan tindakan yang komprehensif, holistik dan menyeluruh termasuk pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Justeru, Bentayan ingin mencadangkan supaya satu jawatankuasa yang terlibatkan kepakaran ditubuhkan untuk merancang pelan tindakan, mengkoordinasi dan memantau semua tindakan susulan daripada hasil atau dapatan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan semua agensi yang terlibat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, setiap daerah mempunyai punca kepada bencana banjir yang berlainan. Maka Jawatankuasa mencadangkan supaya semua PBT harus menjalinkan usaha sama dengan kepakaran dari Universiti Awam dalam membuat

kajian dan menghasilkan pelan tindakan bagi mengatasi masalah bencana banjir. Tindakan drastik keseluruhan kerajaan atau All Government Approach dengan izin, All Goverment Approach dengan izin, perlu diambil dengan membentuk satu jawatankuasa di peringkat daerah yang merangkumi semua agensi tempatan dan kepakaran untuk mengkoordinasi dan memantau semua tindakan susulan daripada hasil kajian jawatankuasa peringkat negeri ditubuhkan untuk mengelakkan agensi bertindak sendiri atau secara solo tanpa sebarang penyelarasan antara agensi lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, negeri Johor berhasrat merealisasi matlamat menjadikan negeri sebagai food bank dengan izin, demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Antara makanan harian utama rakyat Malaysia ialah ayam dan telur. Maka industri penternakan unggas memainkan peranan penting terutama di negeri Johor. Sektor penternakan ayam Johor telah menghasilkan sebanyak 34,404,360 ekor ayam pada tahun 2022 iaitu 23% daripada jumlah hasil keseluruhan di semenanjung Malaysia. Manakala hasil teruk adalah 14,412,000 biji pada tahun 2022 yang merangkumi 22% daripada jumlah hasil keseluruhan di semenanjung Malaysia. Kerajaan negeri juga menggalakkan usaha naik taraf sistem reban ayam terbuka yang sedia ada kepada sistem reban tertutup, reban ayam tertutup yang serba canggih dan dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan boleh meningkatkan produktiviti di mana ayam boleh mencapai berat 2.4 kg dalam masa antara 32 dan 35 hari berbanding antara 38 dan 42 hari dalam sistem ternakan terbuka.

Di samping itu, bau yang dikawal juga dapat menghindarkan kehadiran lalat dan najis ayam boleh dijadikan baja kompos. Akan tetapi penternak ayam telah arah supaya mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) oleh PBT terlebih dahulu sebelum menaik taraf reban terbuka kepada reban tertutup. Penternak terpaksa melalui proses permohonan KM yang rumit kerana tiada Akta untuk ladang ternakan unggas. KM yang sedia ada hanyalah untuk perumahan dan industri atau perkilangan. Peluang untuk KM diluluskan agak tipis dan rumit kerana memerlukan rujukan dan sokongan daripada 14 agensi yang berlainan. Sekiranya salah satu agensi tidak menyokong KM ini maka permohonan ini tidak dapat dipertimbangkan. Tambahan pula semua syarat seperti building plan dengan izin, syarat Bomba, ISA dan lain-lain yang dilaksanakan untuk KM industri adalah tidak sesuai dan setimpal untuk diguna pakai dalam ladang ternakan unggas. Proses permohonan KM juga menelan kos yang tinggi kerana pemohon perlu melantik consultant, arkitek bertauliah ditambah dengan caj-caj tender yang dikenakan selepas KM atau KM diluluskan dan bayaran lain dan semua kos ini perlu ditanggung sendiri oleh penternak ayam. Adakah semua kos ini boleh dipindah kepada pembeli akhirnya sama seperti pemaju perumahan menambahkan semua kos kepada semua pembelinya. Jika ia, harga ayam akan naik dan pembeli dan pengguna membeli ayam harga yang lebih mahal dengan mengambil kira yang kos yang tinggi dan masa yang panjang dalam permohonan KM. Bentayan percaya kebanyakan pengusaha ladang ternakan ayam tidak mampu menaikkan kepada reban tertutup kerana kebanyakan pengusaha dan penternak sedia ada adalah merupakan penternak berkontrak.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Bentayan ingin mencadangkan supaya ladang ternakan ayam dibenarkan beroperasi mengikut Enakmen Penternakan Unggas Negeri Johor dan menetapkan hak kapasiti bagi reban terbuka secara berperingkat. Sebagai contoh kapasiti reban ayam harus tidak melebihi 50,000 ekor bagi kawasan PBT dan tidak melebihi 100,000 ekor untuk di luar kawasan PBT. Sekiranya melebihi had pengusaha wajib menaik taraf kepada reban tertutup.

Kedua, kerajaan negeri boleh menyediakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baru bagi tujuan penternakan ayam di beberapa daerah seperti yang diamalkan di Kuala Selangor. Di mana kerajaan negeri menyediakan segala infrastruktur TKPM supaya beban kos bagi penternak ayam dapat dikurangkan sekali gus menarik minat lebih ramai pengusaha dan industri penternakan ayam. Sistem reban tertutup adalah terbukti lebih

terkawal dari segi keselamatan dan kebersihan dan produktiviti juga dapat dipertingkatkan. Kerajaan negeri harus membantu industri penternakan ayam supaya industri dapat dikembangkan dan memastikan bekalan ayam sentiasa stabil dan terjamin.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Program Johor Bersih yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 3 Julai 2022 yang lalu dengan sasaran dan matlamat menjadikan negeri Johor Darul Ta’zim yang bersih, ceria dan indah. Bentayan sering menerima aduan berkenaan rumput panjang di sepanjang bahu jalan negeri atau persekutuan dan longkang atau parit dipenuhi rumput sehingga tersumbat. Mengikut maklumat yang diterima kekerapan memotong rumput jalan di bahu negeri ada 12 kali setahun manakala jalan persekutuan ada 9 kali setahun.

Untuk pembersihan longkang atau parit adalah 2 kali setahun. Bagi kawasan SWM pula kekerapan memotong rumput dan pembersihan longkang ada lebih tinggi iaitu 2 minggu sekali untuk pemotongan rumput dan sebulan sekali untuk pembersihan longkang. Maka kita boleh lihat kawasan SWM tersebut lebih kemas atau bersih berbanding dengan jalan di bawah seliaan JKR. Jadi, Bentayan ingin mencadangkan supaya ditambah lagi kekerapan pemotongan rumput dan pembersihan longkang bagi jalan di bawah pengurusan JKR.

Pengurusan dan penyelenggaraan perparitan yang efisien juga adalah penting untuk mengatasi masalah banjir kilat. Parit yang dipenuhi rumput tebal dan sampah telah menyekat aliran air dan meningkatkan risiko banjir ketika hujan lebat. Oleh itu Bentayan mendesakkan kerajaan supaya mengkaji semula kekerapan penyelenggaraan sistem perparitan yang sedia ada.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kesesakan trafik di Jalan Salleh dan di Jalan Bakri di daerah Muar semakin hari semakin teruk disebabkan penambahan bilangan kenderaan, terutamanya selepas PKP, COVID-19. Keadaan jalan Bakri dijangka akan menjadi semakin kritikal disebabkan penambahan isi padu trafik dengan kenderaan barangan berat atau separa berat terutama apabila Muar Furniture Park (MFP) mencapai kapasiti operasi sepenuhnya pada masa hadapan. Kerana Jalan Bakri merupakan jalan utama menghubungi MFP ke pusat bandar dan perlu dilalui untuk mengakses laluan lebuh raya PLUS E2, Jalan Bakri hanya sepanjang 10 kilometer tetapi perlu mengambil masa lebih daripada 30 minit ke pusat bandar dari Bukit Bakri. Maka cadangan RTT 2030 Muar mengenai satu laluan baru atau jalan pintasan yang menghubungi jalan persekutuan FT 002 dan jalan negeri J32 untuk mengakses lebuh raya PLUS E2 itu perlu dipercepatkan. Jalan pintasan ini dijangka sepanjang 10 kilometer dengan anggaran kos lebih daripada RM200 juta. Maka projek ini perlu disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebagai salah satu projek utama dalam negeri Johor supaya masalah kesesakan jalan Bakri dapat diatasi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Jalan Salleh pula merupakan jalan raya utama yang menghubungkan hab pendidikan ke pusat bandar Maharani Bandar Diraja. Jalan Salleh berada di laluan jalan negeri J32 yang sepanjang 4 kilometer dan merupakan jalan pintasan di antara Bandar Muar dan Bukit Pasir. Jalan Salleh adalah jajaran jalan dalam projek cadangan naik taraf di bawah tajuk menaik taraf jalan dari Bandar Muar ke Pekan Pagoh J32 sepanjang 20 kilometer Muar – Johor. Bagaimanapun, cadangan perancangan projek ini telah disusun semula kerana kedudukan jalan Salleh ini termasuk dalam cadangan jalan untuk ditukar status dari jalan negeri kepada jalan persekutuan iaitu jalan dari Bandar Muar ke Pekan Labis sepanjang 35 kilometer. Bentayan ingin tahu, apakah status proses pewartaan ke jalan persekutuan dan perancangan seterusnya. Dan adakah projek ini telah di senarai dalam Rancangan Malaysia Yang Ke-12?

Akhir kata, Bentayan berharap agar kesemua inisiatif yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam persidangan Belanjawan 2024 bagi negeri Johor ini

dapat dilaksanakan dengan baik dan berhemah sekali gus memberikan manfaat kepada seluruh rakyat dan ekonomi negeri Johor. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Selanjutnya, Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk Sungai Balang membahas lebih awal kerana saya membawa suara hati warga Sungai Balang yang hari ini saya ditemani rakan-rakan daripada Sungai Balang yang terdiri daripada Tok-Tok Penghulu, Ketua Kampung dan Persatuan Ibu Tunggal dan juga saya difahamkan ada juga rakan-rakan datang daripada apa …

Timbalan Speaker

Masa berjalan.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Ya Yang Berhormat, jadi maksudnya saya hari ini ditemani rakan-rakan daripada kepimpinan DUN Sungai Balang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker saya seterusnya ingin membawa perkara-perkara yang berkaitan dengan awal permulaan kalam ini saya ingin, patik ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November 2023 yang lalu. Turut tidak ketinggalan patik serta rakyat DUN Sungai Balang merafak sembah serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pemasyhuran Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik mendoakan semoga Malaysia di bawah payung pemerintahan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong akan menjadi lebih maju dan rakyatnya lebih bersatu padu dalam segenap aspek.

Turut tidak ketinggalan juga patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim di atas kejayaan pasukan bola sepat JDT yang telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai liga buat kali ke-10 berturut-turut. Mudah-mudahan dengan kejayaan bakal menyebelahi pasukan JDT untuk memenangi Piala Malaysia untuk saingan yang sedang berjalan.

Saya dan rakan warga DUN Sungai Balang turut ingin menzahirkan, merakamkan ucapan setinggi tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim yang membawa gelaran dan Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim yang membawa gelaran Dato’ oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Johor Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim. Tahniah YAB Dato’.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kalau memakai kain pelikat, pergi berjamu di tengok sopan, kalau pandai memimpin umat, negeri maju penduduk pun aman. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seperti mana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa tadbir urus adalah tiang seri kekuatan sesebuah kerajaan. Bila mana kerajaan tersebut mempunyai jentera urus yang cekap, berintegriti dan efektif serta berwawasan dalam menjalankan urusan pentadbiran kerajaan dan berdasarkan kepada 5 strategi dan 19 inisiatif yang dirangka dalam Belanjawan Tahun 2024 sudah semestinya kerajaan yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi tidak beretorik semata-mata untuk memastikan belanjawan ini berjaya mencapai sasarannya.

Dengan berbagai inisiatif yang direncanakan dan suntikan dana kepada pentadbiran merangkumi peringkat top to bottom dengan izin, maka setiap peringkat pentadbiran ini akan dapat memperkasakan fungsinya untuk memastikan pencapaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan jaya dan lancar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pentadbiran yang berkoordinasi dan tersusun merupakan satu kunci kepada kelancaran dan penjimatan kos perbelanjaan kerajaan. Jika sekiranya tiada koordinasi yang baik dalam tadbir urus kerajaan maka akan berlaku kesilapan yang berulang dan pertambahan kos perbelanjaan menyebabkan kerugian kepada kewangan negeri. Saya membawa contoh apabila ketiadaan koordinasi antara jabatan dan kerja-kerja contohnya penyelenggaraan perparitan.

Apabila sesuatu jalan yang telah dibaik pulih dinaik taraf oleh pihak kontraktor, JPS yang pula masuk kawasan tersebut untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan parit. Hal ini sudah semestinya akan menyebabkan jalan yang baru dibaiki dan dinaik taraf tadi akan kembali rosak akibat jentera berat, rantai yang menjalankan kerja perparitan tidak mengikut spesifikasi. Oleh itu perlu diselaraskan informasi antara jabatan dan kerajaan berkaitan supaya contoh situasi ini diberi tidak berulang. Hal yang saya pastikan ini, ketiadaan koordinasi dan penyelarasan dan libat urus antara jabatan kerajaan boleh menyebabkan kos perbelanjaan untuk membaik pulih jalan terus meningkat dan berlaku pembaziran, ini contoh di kawasan tempat saya, saya nak maklumkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, demografi kawasan Sungai Balang merupakan kawasan yang majoritinya terdiri daripada kawasan kampung menyambut baik keputusan inisiatif Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang meningkatkan Jawatankuasa Pelan Dan Keselamatan Kampung. Melalui pengembalian semula tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit-parit dan kawasan JPK tersebut secara bergotong-royong di bawah seliaan JPS. Sudah tentu hal ini dapat mengelakkan kesukaran yang dihadapi sebelum ini tentang pusingan kerja-kerja penyelenggaraan parit yang lewat untuk rungutan penduduk di dalam sebuah kampung.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selain itu suntikan sebanyak RM120,000.00 berbentuk geran pengurusan dan pentadbiran kepada persatuan Ketua-Ketua Kampung di negeri Johor memberikan kemudahan kepada Tok Ketua-Ketua Kampung untuk melaksanakan aktiviti pentadbiran di kawasan mereka. Di tambah lagi dengan pemantapan usaha profesionalisme di kalangan Ketua-Ketua Kampung akan melalui pelaksanaan Kursus Sijil Profesional. Mudah-mudahan pentadbiran peringkat kampung bagi negeri Johor ini akan lancar sistem penyampaian dan dari kerajaan negeri dan rakyat daripada kawasan kampung masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran merupakan aset yang penting dalam nilai kepada negeri untuk merubah status negeri daripada berpendapatan sederhana kepada pendapatan negeri yang berpadatan tinggi. Oleh yang demikian, penyediaan prasarana dan infrastruktur pendidikan yang baik, pemangkin hasrat pemilikan modal insan, bercirikan aspek negeri maju dan dapat direalisasikan. Justeru itu, saya menekankan bahawa di Sungai Balang yang harus mempunyai pusat pengajian dan pendidikan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat yang serba lengkap demi membentuk generasi modal insan seperti yang saya nyatakan tadi. Walaupun ketika ini terdapat sebuah Pusat Giat Mara di kawasan Sungai Balang, namun kursus yang ditawarkan hanya terdapat 3 jenis sahaja. Tambah menyedihkan lagi apabila satu bangunan untuk menjalankan kursus kegiatan jahitan di kawasan tersebut menumpang selama hampir 17 tahun di premis milik Persatuan Nelayan Kawasan Muar yang terletak di rizab JPS. Ya, sangat sedih.

Selain itu juga saya mencadangkan agar kerajaan Johor menjalin kerjasama dengan pihak MARA supaya dapat mewujudkan sebuah IKM di DUN Sungai Balang bagi menyediakan kursus-kursus kemahiran jangka panjang seperti kursus berkaitan maritim, penyelenggaraan enjin, kimpalan dalam mempersiapkan tenaga kerja kemahiran yang bila mana Maharani Energy Getway (MEG) kelak beroperasi maka modal insan yang terlahir dari industri ini dapat dibekalkan sebagai tenaga kerja berkemahiran dan profesional suatu waktu nanti.

Hal yang berkaitan dengan cadangan fasiliti ini dan bangunan tidak menjadi masalah kerana pihak MARA yang mempunyai tanah keluasan 10 ekar di kawasan Sarang Buaya ini sangat strategik dari sudut geografi dan perhubungan antara jalan dan kawasan MEG. Usaha memperkasakan aliran TVET ini amat penting. Selari dengan kerajaan pusat yang ingin melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkepakaran dalam bidang teknik dan vokasional memacu pemodenan negara tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya kepada tenaga kerja asing kelak. Sehubungan dengan itu, kita dapat meminimumkan aliran wang negara daripada keluar ke negara-negara tertentu kerana kerja kita bergantung selama ini.

Dalam pada kita memberikan penekanan terhadap kejayaan pelajar daripada aspek duniawi, jangan di lupa juga kepada aspek kejayaan pelajar-pelajar anak bangsa kita dalam aspek ukhrawi yang mana negeri Johor sejak dahulu sememangnya termasyhur dengan sistem pendidikan agama Islam sejak tahun 1923 sehingga kini, yang hampir menjangkau 100 tahun. Alhamdulillah telah melalui pelbagai fasa perubahan dan pemodenan sukatan pelajaran yang dapat diselarikan dengan keperluan semasa hasil daripada tadbir urus syiar agama Islam oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Bermula dengan pendidikan Sekolah Rendah Agama Bersepadu, kemudian ke peringkat MAAHAD untuk ke peringkat sekolah menengah seterusnya hingga ke Kolej Islam Johor Sultan Ibrahim atau MARSAH untuk peringkat pengajian yang lebih tinggi. Dengan laluan ketiga-tiga peringkat pengajian ini, saya yakin negeri Johor dapat melahirkan ramai asatizah sebagai pelapis ilmuan agama bagi meneruskan perjuangan mempertegak syiar Islam di tanah Jauhar ini. Saya yakin dan pasti dengan berbekalkan tadbir urus negeri yang baik melalui teras utama Maju Johor, usaha dan langkah mendaulatkan serta memelihara kesucian agama Islam di negeri Johor dapat berjalan lancar. Semoga dengan demikian negeri Johor mendapat melimpah rahmat daripada Allah SWT selaras dengan ciri-ciri negeri yang baik dan dapat keredaan serta pengampunan Allah SWT.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menyentuh isu berkaitan hal perumahan, saya secara konsisten memberikan fokus kepada usaha-usaha untuk memperjuangkan pelaksanaannya di kawasan DUN Sungai Balang. Untuk tujuan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat di kawasan luar bandar, saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat daripada Sri Medan semalam, yang menyatakan bahawa keperluan kemudahan asas kepada rakyat harus diutamakan. Alhamdulillah, dalam usaha ini nampaknya telah nampakkan sinar di hujung terowong dengan beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri dan pemegang taruh seperti Pejabat Daerah Muar, Majlis Perbandaran, Pejabat Tanah Daerah Muar dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor. Dan lawatan tapak rancangan pembinaan rumah mampu milik (RMMJ) ini telah dilakukan sebanyak dua kali dan beberapa siri perbincangan telah dilakukan. Dengan keluasan tanah 24 ekar di kawasan Parit Jamil tersebut adalah sangat strategik dan bakal menyajikan pemandangan yang cantik apabila hasrat pembinaan projek perumahan mampu milik ini di kawasan berkenaan dapat direalisasikan.

Amatlah tinggi pengharapan rakyat di DUN Sungai Balang supaya rancangan projek RMMJ ini dapat disegerakan dan dilaksanakan supaya mereka yang belum mempunyai rumah milikan sendiri, dapat memilikinya secepat mungkin. Saya pasti dan percaya permintaan yang tinggi terhadap program perumahan tersebut akan merangsang fasa seterusnya penyediaan RMMJ pada masa akan datang. Dan dengan peningkatan pertumbuhan sektor pembinaan sebanyak RM5.68 bilion pada tahun 2022, saya yakin dan positif usaha

pembinaan rumah mampu milik oleh kerajaan negeri ini dapat dipertingkatkan dan diluaskan di kawasan luar bandar yang sememangnya mendapat permintaan yang tinggi. Dan saya juga mendoakan kepada sahabat saya daripada Kukup yang semalam juga menyampaikan hasrat yang sama untuk memastikan kawasan tersebut juga suatu masa nanti akan dapat melaksanakan RMMJ ini di kawasan mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, perkara yang khuatir berkenaan keselamatan makanan benar-benar berlaku pada tahun ini. Di mana kita telah menyaksikan bekalan beras tempatan amat terhad dan tidak menampung permintaan rakyat khususnya mereka yang berada dalam kategori B40. DUN Sungai Balang seperti yang maklum mempunyai kawasan sawah berkeluasan 364.22 hektar merupakan kawasan tanaman padi yang kedua terbesar di negeri Johor. Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri menambahkan lagi saiz tanaman padi di kawasan Sungai Balang bagi menambah pengeluaran padi beras tempatan agar dapat menampung kelompongan stok berkenaan beras tempatan yang berlaku dalam pasaran hari ini. Selain itu, satu usaha penyelidikan dan pembangunan, R&D perlu dijalankan bagi benih padi yang menghasilkan pengeluaran 3 kali setahun di samping resistansi yang tinggi terhadap penyakit dan ketidaktentuan cuaca ekstrem.

Estet sawah ini menjadi satu penyumbang dalam usaha kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan negara tercapai dengan kemandirian penghasilan bekalan makanan kepada rakyat tidak bergantung pada makanan import khususnya beras. Dengan peruntukan sebanyak RM3.9 juta Belanjawan 2024 dan Pelan Pembangunan Industri Padi dan Beras: Periuk Nasi Selatan, saya berharap agar kawasan sawah Sungai Balang ini dapat diberi tumpuan utama aliran pendanaan bagi meningkatkan lagi usaha pengeluaran padi di kawasan tanah tersebut.

Saya juga memohon kepada kerajaan negeri dan pihak Pejabat Tanah dan Galian supaya dapat mengekalkan status 200 ekar bagi tanah di kawasan tersebut sebagai tanah rizab simpanan daerah. Kelak untuk kemungkinan boleh menambahkan saiz sawah. Ataupun jika sekiranya kerajaan bercadang untuk menambah saiz sawah di kawasan berbaki 200 ekar tersebut, maka ia hendaklah dibangunkan dengan perancangan projek yang pro kepada rakyat supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua. Saya juga menyarankan agar tanah-tanah sawah yang sedia ada dan terbiar dan tidak diusahakan oleh pesawah perlu diambil semula oleh kerajaan untuk diusahakan dengan tanaman padi. Hal ini adalah bagi mengelakkan kerugian sumber tanah yang boleh diguna di kawasan sawah berkenaan untuk tujuan penghasilan padi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di Sungai Balang ini selain daripada tanaman padi, juga mempunyai tanaman kontan lain seperti kelapa, nanas, ubi, pisang dan lain-lain tanaman yang memerlukan pemerhatian dan peruntukan bagi membantu para pengusaha tanaman menambah jualan hasil pengeluaran bagi menampung permintaan tinggi di pasaran. Hal ini bagi memastikan usaha ke arah food basket kepada Malaysia ataupun food bank kepada negara serantau. Namun, pemasalahan yang dihadapi sebagai contoh berkenaan pemasaran kelapa yang menyebabkan petani tidak dapat memasarkan hasil secara meluas dalam negeri ataupun negara dan perkara ini timbul akibat ketiadaan satu pihak peraih yang membeli hasil kelapa seperti peraih dalam pemasaran sektor kelapa sawit. Walhal, dalam permintaan terhadap kelapa amatlah tinggi di negeri kita sehinggakan terpaksa mengimport kelapa tersebut daripada Indonesia, demi memenuhi permintaan terhadap penggunaan domestik dan industri. Justeru itu, satu mekanisme berkaitan pemasaran dan pengedaran kelapa di negeri Johor perlu diwujudkan bagi membolehkan para pengusaha tanaman kelapa memasarkan dengan mudah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah meluluskan RM59 juta untuk bilik guru yang

bakal dimanfaatkan oleh 1,193 buah sekolah menengah dan rendah dan saya berdoa juga mudah-mudahan untuk sekolah agama juga tidak tertinggal. Justeru, dalam masa yang sama juga saya menyarankan agar kerajaan negeri dapat menyalurkan dana tambahan. Dana tambahan ini ialah untuk Rancangan Makanan Tambahan untuk murid-murid Bangsa Johor yang tercicir daripada senarai yang layak mendapat bantuan RMT supaya bebanan perbelanjaan ibu bapa dapat dikurangkan. Apabila kita bercakap soal makanan kepada setiap isi rumah di Johor, sudah tentu para ibu bapa juga ingin memastikan anak-anak mereka yang bersekolah khasnya di peringkat rendah dan menengah dapat mengisi perut sewaktu rehat. Anak-anak yang ingin membeli makanan di kantin juga memerlukan wang saku daripada ibu bapa mereka. Dengan keadaan semasa sudah pasti harga makanan turut meningkat dan Yang Berhormat sekalian bayangkan sekiranya kita maklum satu keluarga yang mempunyai 5 orang anak yang bersekolah, bersekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama, bagaimanakan kos perbelanjaan wang saku yang dikeluarkan oleh setiap hari demi memastikan anak-anak dapat mengisi perut ketika di sekolah waktu rehat. Dan tambah menyedihkan lagi apabila ibu bapa tersebut adalah tergolong dalam kategori berpendapatan rendah atau pun B40 mahupun kategori miskin.

Sebagai contoh, dengan penerimaan rancangan tambahan di kawasan saya di DUN Sungai Balang, seramai hanya 939 murid sahaja daripada 13 buah sekolah kebangsaan dan 7 buah sekolah jenis kebangsaan di DUN Sungai Balang. Dan saya mengharapkan pihak Kementerian Pendidikan dapat menambah lagi bilangan murid penerima RMT di sekolah-sekolah dalam kawasan Sungai Balang dan kalau boleh buat tambahan itu mungkin untuk seluruh negeri Johor. Sekurang-kurangnya daripada 939 kepada 1,500 orang pelajar. Saya begitu tersentuh apabila di dalam kalangan ibu bapa di kawasan saya, mengadu bahawa beliau tidak mampu untuk memberi wang saku secukupnya kepada anak-anak yang bersekolah ekoran pendapatan kecil mungkin sebagai tukang rumah secara kecil-kecilan dan dalam masa yang sama anaknya tidak mendapat bantuan RMT di sekolah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, aspek penjagaan kesihatan rakyat juga tergolong dalam matlamat saya selaku Wakil Rakyat DUN Sungai Balang. Dengan 3 buah klinik kesihatan di DUN Sungai Balang iaitu Klinik Kesihatan Parit Jawa, Klinik Kesihatan Sri Menanti dan Klinik Kesihatan Parit Yusof yang juga telah dimaklumkan dan dapat melihat sendiri jumlah pesakit yang datang setiap hari untuk mendapatkan rawatan kini telah meningkat. Pada waktu ini anggaran kehadiran pesakit sehari di fasiliti kesihatan tersebut masing-masing adalah seramai 110 orang hingga 130 orang. Dan pesakit di Klinik Kesihatan Parit Jawa 50 hingga 70 pesakit dan di Klinik Kesihatan Sri Menanti 90 hingga 110 pesakit. Dan, saya ingin menekankan usaha untuk menaik taraf saiz klinik kesihatan ini oleh kerajaan supaya dapat menampung bilangan jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Hal ini kerana pesakit yang datang terpaksa menunggu di anjung bangunan klinik oleh kerana kapasiti ruang menunggu dalam klinik adalah terhad sewaktu waktu puncak.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Menyentuh aspek kelengkapan fasiliti klinik kesihatan pula, saya mengharapkan ambulans merupakan nadi utama bagi membantu mereka yang berada dalam situasi cemas, kritikal di tempat kejadian. Namun, jika sekiranya mengalami sesuatu keadaan di mana ketiadaan ambulans misi menyelamat mangsa dan pesakit sukar. Justeru itu, saya mohon supaya setiap klinik kesihatan di DUN Sungai Balang dilengkapkan, sekurang-kurangnya dua buah ambulans bagi memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan dapat dijalankan pada bila-bila masa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya akan memendekkan ucapan saya kerana banyak isu-isu yang saya ingin bangkitkan di kawasan saya dan saksi di kalangan kepimpinan di tempat saya namun saya akan mampu apa yang saya sebutlah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita sedia maklum Sultan Aminah Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan oleh doktor pakar. Buat masa ini, negeri Johor hanya mempunyai 3 hospital utama yang mempunyai doktor pakar iaitu doktor pakar Hospital Sultanah Fatimah, Muar, Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa. Tetamu nak makan tu.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Kita sambung ke ataupun memang tamat masa saya Datuk Timbalan Speaker? Datuk Speaker, saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun supaya kita dapat menikmati juadah tengah hari ini dengan lebih enak.

Kalau berjaja sirih dan kapur, tentulah ada gambir dan pinang, kalau bekerja bersih dan jujur, tentulah namanya dipuji orang. (Dewan Bertepuk). Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Sungai Balang mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, memberi peluang kepada Sungai Balang untuk menjamu para jemputannya, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.05 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan dan diperingatkan bahawa tempoh perbahasan kita adalah 20 minit untuk setiap orang. Justeru, untuk menghormati masa kita dan masa orang lain, berbahagialah untuk melihat pada timer yang ada pada monitor masing-masing ketika berucap agar kita dapat menepati masa. Saya tidak berhasrat untuk mengganggu perbahasan, namun masing-masing gunakan kebijaksanaan untuk mengurus masa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Ahli Yang Berhormat Puteri Wangsa dipersilakan.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua yang hadir dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada kali ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum memulakan perbahasan Belanjawan Johor 2024, patik mahu mengucap sembah tahniah ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Benarlah seperti yang dititahkan oleh Tuanku Sultan, tanggungjawab untuk menjaga 33 juta rakyat Malaysia bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ianya adalah satu tanggungjawab yang sangat besar. Patik percaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan akan menjadi cerminan tauladan yang terbaik sepertimana cerminan tauladan kepada Bangsa Johor juga akan menjadi cerminan tauladan kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa meletakkan negeri Johor dan seluruh isinya dalam setiap tugas dan tanggungjawab Tunku. Allah peliharakan Sultan. Amin Ya Rabbal Alamin.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan Johor 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada Khamis yang lepas. Sebelum itu saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan juga tahniah kepada seluruh penjawat awam negeri Johor yang sudah bertungkus lumus bersama-sama menghasilkan Belanjawan Johor yang cukup-cukup tuntas dan telah dibentangkan dengan sempurna oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Jasa penjawat-penjawat awam dalam mengemudi pembangunan negeri Johor perlu kita rekodkan dalam rekod rasmi Dewan Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, untuk perkara yang pertama, saya ingin bercerita tentang pengurusan belanjawan surplus Johor. Kita tahu bahawa baru-baru ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menceritakan bagaimana ada peningkatan dalam jumlah surplus tahun 2024 berbanding tahun 2023 yang telah diunjurkan. Kalau dalam Belanjawan Johor 2023, jumlah surplus yang diunjurkan adalah pada angka RM2.44 juta berbanding Belanjawan Johor 2024 yang kita jangkakan akan mempunyai surplus sebanyak RM4.21 juta. Saya mengiktiraf agenda belanjawan surplus Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerana ini merupakan satu usaha yang baik oleh Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan bahawa ada cerminan pengurusan kewangan yang baik bagi negeri Johor yang jarang dibuat oleh negeri-negeri lain. Saya sambut baik langkah ini. Angka surplus ini boleh menyediakan negeri Johor untuk berhadapan dengan apa-apa hal kecemasan ataupun krisis-krisis yang akan berlaku kelak. Sepertimana kita lihat sebelum ini kita ada krisis ekonomi, krisis pandemik yang baru berlaku tidak kira sampai 3 tahun yang lepas. Sediakan payung sebelum hujan. Saya percaya agenda yang baik ini juga harus disusuli dengan pelaksanaan yang jelas dan juga telus. Saya dengan ini memohon maklum balas daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kalau boleh juga daripada Yang Berhormat EXCO dalam sesi-sesi penggulungan yang akan datang.

Adakah Kerajaan Negeri Johor telah menggunakan jumlah angka surplus yang diunjurkan dalam Belanjawan 2023 yang lepas. Dan sekiranya Kerajaan Negeri Johor ada menggunakan jumlah surplus bernilai RM2.44 juta itu, apakah sistem kriteria dan priority yang telah digunakan dalam membelanjakan peruntukan wang surplus yang telah disalurkan ini. Bagi saya maklum balas ini amat penting kerana ia dapat membantu kita membuat unjuran yang lebih jelas dan perancangan-perancangan untuk jumlah nilai dan kegunaan wang surplus yang akan datang. Sekiranya ianya ada digunakan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Saya juga melihat trend Belanjawan Surplus Johor ini akan diteruskan untuk belanjawan tahun-tahun yang akan datang dan saya sambut baik jika trend ini diteruskan. Maka kalau kita lihat trend perbelanjaan surplus di negara-negara ataupun negeri-negeri lain kita lihat bahawa perbelanjaan wang surplus ini sama ada mereka gunakan untuk wang kecemasan atau mereka gunakan untuk pelepasan cukai rakyat atau mereka gunakan untuk pelaburan infrastruktur.

Maka dengan itu, apakah rancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan pertama, untuk meningkatkan lagi nilai unjuran belanjawan surplus untuk negeri Johor pada tahun-tahun akan datang. Dan kedua, perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Johor dalam pengurusan wang surplus Bajet Johor. Jika pengurusan Belanjawan Surplus Johor ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi contoh kepada pentadbiran Johor yang akan datang dan juga contoh kepada negeri-negeri yang lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kedua, saya ingin menyentuh tentang sosioekonomi Bangsa Johor. Apabila kita mahu mengurus sebuah negeri menjadi negeri yang maju seperti yang sentiasa kita sebutkan kita tidak boleh sesekali melupakan sosioekonomi Bangsa Johor, kualiti hidup mereka perlu terjamin dari soal pendapatan keluarga, soal makan pakai, soal peluang membina masa hadapan anak-anak Johor dalam negeri Johor ini sendiri sehinggalah menyediakan ruang yang paling kondusif agar Bangsa Johor dapat duduk menetap di dalam negeri Johor. Saya juga percaya bahawa bila kita nak

bercerita tentang pembangunan sosioekonomi Bangsa Johor ini, ada dua tonggak utama yang saya ingin sentuh pada hari ini. Yang pertama, Orang Muda Johor dan kedua wanita-wanita dalam Johor. Tunjang ekonomi dalam negeri Johor harus dipasakkan kepada dua golongan ini. Kerana dengan dua golongan ini kita dapat pacu ekonomi negeri Johor dalam tempoh masa yang panjang. Segala persiapan ke arah mempersiapkan Johor menjadi negeri yang maju boleh bermula daripada sekarang. Maka apa yang kita harus lakukan? Tiga cadangan utama saya dalam berhadapan dengan isu sosioekonomi Bangsa Johor.

Yang pertama, mengadaptasi teknologi data analisis terkini. Saya tertarik dengan peruntukan RM500,000.00 kepada usaha Johor Insight yang dimaklumkan dalam Belanjawan Johor 2024 yang bertujuan untuk menyediakan maklumat pemetaan kawasan industri ataupun zone mapping dan data pelaburan terkini. Saya gesa supaya teknologi akan dibuat ini yang digunakan Johor Insight ini juga perlu ditambah dengan sokongan pemetaan peluang pekerjaan kepada anak-anak Johor untuk mengembangkan kerjaya mereka. Kalau boleh dapatan daripada Johor Insight ada satu ketelusan yang boleh diakses oleh orang ramai agar ketelusan data ini sebenarnya merupakan satu kunci yang paling penting untuk Bangsa Johor merancang kerjaya mereka pada masa akan datang.

Kerajaan negeri berupaya untuk membantu membuat padanan orang muda dengan kerjaya pilihan mereka serta memenuhi keperluan industri yang terkini. Saya suka juga untuk merujuk kepada catatan dari Asean Development Bank bertajuk Job Matching For Youth In Asea And The Pacific : A Transition Approach For Positive Labor Market Pathways, dengan izin Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menurut catatan tersebut “Job matching can help rewire a labor market to make it more efficient and inclusive for youth” maknanya, penting untuk negeri Johor merangka strategi, untuk dengan izin Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, job matching system, agar ada sistem pemadanan kerja yang kukuh menyeluruh dan juga berupaya membantu Orang Muda Johor mendapat kerja yang berkualiti. Kita tidak mahu ada isu-isu di mana Orang Muda Johor memiliki pendidikan yang begitu tinggi tetapi akhirnya tidak dapat bekerja di negeri mereka sendiri. Korea Selatan sebagai contohnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mewujudkan sebuah platform yang mereka panggil work-net dengan menyatukan 31 laman carian kerja awam dan swasta dengan menggunakan teknologi untuk membuat padanan terbaik kepada rakyat mereka. Sekarang ini adalah dunia digital, saya percaya bahawa sekiranya negara luar boleh buat, negeri kita juga mampu buat. Saya percaya bahawa Johor boleh laksanakan inisiatif ini pada skala negeri yang lebih kecil, lebih mudah diatur dan diurus dengan baik untuk kebaikan orang muda negeri Johor.

Kedua Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita perlu adakan kerjasama kukuh perkongsian data kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Saya juga melihat trend masa kini apabila kerajaan persekutuan juga cukup cenderung mempromosikan penggunaan data dalam setiap pelaksanaan dasar. Malah saya sedar bahawa kerajaan persekutuan mempunyai kapasiti yang lebih besar daripada kerajaan negeri dan juga bajet yang lebih besar daripada kerajaan negeri. Apa salahnya kita ambil kesempatan ini untuk membina pangkalan data kerja yang lebih bersepadu bersama kerajaan persekutuan. Bukan sahaja kerajaan negeri boleh wujudkan kerjasama dengan kerajaan persekutuan malah kerajaan negeri boleh gesa kerajaan persekutuan untuk menjadikan negeri Johor perintis untuk agenda ini.

Pengumuman Johor sebagai destinasi utama pelaburan Malaysia sebanyak RM14.2 bilion wajar meyakinkan kerajaan persekutuan untuk menjadikan negeri kita negeri perintis untuk agenda ini. Kementerian Pengajian Tinggi misalnya boleh menyediakan graduan yang untuk bertapak di negeri Johor, bermakna tidak kiralah orang muda itu datang dari Johor ataupun dari negeri-negeri lain, kita akan jadikan negeri Johor ini negeri yang mesra graduan dan menyediakan peluang-peluang yang berimpak tinggi.

Yang ketiga Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, adalah untuk usaha pemberdayaan wanita untuk kembali bekerja. Saya meneliti teks ucapan Belanjawan 2024 dan mengiktiraf usaha kerajaan negeri terutama sekali Yang Berhormat EXCO Wanita dalam membantu wanita termasuklah memperuntukkan RM1 juta untuk membantu 1,000 ibu tunggal dengan perniagaan, RM770,000.00 untuk Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta W-Care Johor untuk lebih 8,000 wanita di negeri Johor.

Tapi saya percaya kita perlu lebih agresif untuk membantu ramai wanita kembali bekerja di Johor. Persoalan utama, adakah Kerajaan Negeri Johor mempunyai data terkini jumlah wanita yang berhenti bekerja, sudah tidak ada dalam pasaran tenaga buruh dan juga faktor ia berlaku? Penting untuk kita kumpul data ini dan merangka strategi untuk menarik wanita-wanita kembali bekerja.

Kalau saya rujuk kepada Data Asas Negeri Johor Tahun 2021 Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, data ini diterbitkan oleh Bahagian Perancangan Ekonomi Johor, jurang penyertaan buruh lelaki dan wanita pada tahun 2021 semakin melebar. Pada tahun 2017, 81.7% lelaki ada dalam alam pekerjaan berbanding dengan wanita sebanyak 50.2%. Kemudian pada tahun 2021, ia melebar di mana lelaki kepada 87.9% dan wanita, kekal pada 50%. Kalau trend ini tidak diubah, saya risau wanita akan ketinggalan dalam alam pekerjaan.

Saya juga faham banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku tapi kita harus cari jalan untuk memudahkan wanita kembali bekerja. Kenapa? Orang kata kenapa wanita perlu bekerja? Kenapa kita kena berusaha menarik wanita masuk ke alam pekerjaan? Sebenarnya apabila ada wanita dalam alam pekerjaan, pertumbuhan ekonomi juga akan lebih rancak. Kalau kita lihat dalam laporan International Labor Organization apabila kita ada mengurangkan jurang jantina ataupun gender-gap 25% gender-gap dikurangkan akan meningkatkan GDP Global sebanyak 3.9%. Begitu juga impak yang akan diberikan kepada negeri Johor dan negara Malaysia secara keseluruhannya.

Maka dengan itu saya gesa Kerajaan Negeri Johor untuk juga mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk wanita bekerja, kembali bekerja dalam negeri kita. Saya puji usaha Jauhar Childcare Centre di mana ada juga dibuka dalam kawasan saya sendiri di PPR Desa Mutiara, saya galakkan agar subsidized childcare centre ini diperluaskan dalam negeri Johor agar ibu-ibu boleh kembali bekerja.

Dan kedua Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita juga perlu membuatkan penguatkuasaan yang lebih kukuh apabila kita nak bercerita tentang undang-undang agar industri-industri dalam negeri Johor tidak ada melaksanakan apa-apa diskriminasi gaji antara lelaki dan wanita.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selesai tentang sosioekonomi Bangsa Johor, saya juga ingin masuk sedikit tentang sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim dan juga perancangan ataupun perancangan Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan Saksama. Sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, saya sentiasa berjumpa dengan rakyat yang kurang bernasib baik dan saya percaya bahawa pengalaman saya juga sama dengan pengalaman semua ADUN-ADUN yang lain. Ada yang ada masalah kesihatan kronik, ada yang sudah uzur dan berusia, ada yang ditimpa pelbagai masalah yang menjadikan sukar untuk mereka bekerja dan mendapatkan pekerjaan.

Sebagai ADUN yang memikul amanah besar, saya dan pejabat Puteri Wangsa akan terus membantu meringankan beban mereka. Malah saya bersyukur kerana di negeri Johor, semua ADUN termasuklah Puteri Wangsa menerima kurniaan dari Yayasan Sultan Ibrahim termasuklah bekalan beras dan bakul makanan untuk membantu lebih 165 keluarga. Ampun

Tuanku junjungan kasih atas setiap sumbangan keluarga DiRaja Johor pada kawasan patik. Malah Kerajaan Negeri Johor juga bekerjasama tanpa mengira warna politik dan agenda politik masing-masing. Saya kira ini adalah suatu perkara yang bagus yang perlu dicontohi oleh Kerajaan Negeri Johor akan datang dan kerajaan-kerajaan negeri yang lain. Ini semua adalah satu gambaran sebuah kerajaan yang benar-benar mahu menjaga rakyatnya.

Oleh itu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin mengulangi seruan agar Kerajaan Negeri Johor membentangkan satu Enakmen Peruntukan Saksama untuk memastikan bahawa mana-mana wakil kerajaan, wakil sama ada daripada kerajaan ataupun daripada pengimbang kerajaan akan dapat berkhidmat dengan rakyat. Enakmen ini akan membolehkan satu garis panduan perbelanjaan dan pelaporan yang lebih telus agar rakyat dapat lihat ADUN-ADUN guna peruntukan untuk apa, ke mana mereka salurkan peruntukan dan melarang mana-mana rakyat tidak kira dari mana pun mereka dihukum atas undi mereka. Dan lebih adil kepada saiz dan peratusan populasi kawasan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker sekiranya negeri Johor berjaya melaksanakan Enakmen Peruntukan Saksama, ADUN-ADUN Negeri Johor akan sentiasa kekal membahaskan isu-isu dasar dan polisi dalam Dewan Undangan Negeri Johor dan bukannya sibuk bergaduh tentang isu peruntukan seperti yang berlaku di Dewan Rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya percaya bahawa Dewan Undangan Negeri Johor ada potensi ada lebih baik daripada Dewan Rakyat. Jadi kita boleh buktikan dengan kerajaan hari ini. Saya percaya sekiranya kerajaan bentangkan Enakmen Peruntukan Saksama akan dapat sokongan daripada kedua-dua belah pihak.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhir sekali saya ingin sentuh tentang keselamatan dan budaya penyelenggaraan negeri Johor. Sebagai salah seorang yang berbahas di dalam Dewan yang mulia ini, saya pasti ramai ADUN-ADUN yang lain juga memiliki hal-hal penyelenggaraan sedangkan beberapa ucapan sebelum ini pun ramai yang sudah berbicara tentang hal penyelenggaraan. Pastinya kita semua banyak menerima aduan daripada penduduk setempat yang kita ingin bawa dan bentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Misalnya di Puteri Wangsa Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita ada banyak isu lampu-lampu jalan yang rosak di beberapa kawasan yang telah kami beri aduan berulang kali namun tidak ada apa-apa tindakan.

Hari ini saya datangkan nama-nama jalan-jalan ini bersama jumlah kewangan, kemalangan yang sudah berlaku diakibatkan penyelenggaraan yang tidak lengkap. Di mana sebagai contohnya di Jalan Seri Austin 1, Taman Seri Austin, ada 1 kemalangan. Jalan Ayu 17 di mana terletak SMK Taman Pelangi Indah, 12 kemalangan. Jalan Mutiara Emas 2/1, 8 kemalangan. Jalan Dato’ Onn Utama, 9 kemalangan.

Saya nak gesa bahawa negeri Johor mempunyai sistem penyelenggaraan yang lebih bagus agar kita tidak ada lagi kemalangan-kemalangan yang paling utama sekali tidak melibatkan kemalangan nyawa penduduk negeri Johor. Cuma bagi saya tidak cukup kalau saya selaku pembuat dasar berdiri di sini hanya mahu Kerajaan Negeri Johor turap jalan, baiki lampu dan bersih parit. Itu bagi saya ibarat menjadi pembuat dasar yang tak cukup syarat. Sebab tu pada waktu yang sama, saya mahu gesa satu bentuk sistem yang telus dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor. Agar orang ramai yang buat aduan ataupun pejabat ADUN yang buat aduan dapat pantau status aduan yang dibuat atas talian. Sekarang ni kita dah ada Sistem SIPA, bagus Sistem SIPA, kita buat aduan kemudian kita tahu apa status. Tetapi status aduan tu hanya boleh diakses pembuat aduan. Saya cadangkan agar status aduan itu boleh diakses kepada siapa-siapa sahaja. Kita ajak ramai-ramai agar Bangsa Johor kita, rakyat kita menjadi rakan kongsi utama Kerajaan Negeri Johor dalam budaya penyelenggaraan negeri Johor.

Kita lihat sebagai contohnya di Columbia, di mana ada satu aplikasi di mana rakyat boleh pantau segala jenis aduan yang telah dibuat dan mereka jadi mata-mata untuk kerajaan mereka. Dan kita lihat juga melalui sistem aplikasi ini, rakyat juga boleh memberikan penilaian kepada projek-projek yang berlaku dalam negara mereka. Di mana penilaian itu boleh dihantar kepada kerajaan agar kerajaan tahu sekiranya syarikat konsesi yang mereka, yang telah pun bekerja sama dengan kerajaan menjalankan tugas yang baik ataupun tidak. Kita buat satu sistem yang telus agar rakyat negeri Johor kita boleh sama-sama membangunkan negeri kita dengan lebih baik.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tahun lepas saya fikir kita sudah bahas tentang budaya penyelenggaraan, jadi tahun ini kita alihkan fokus kita kepada satu sistem yang lebih menyeluruh.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhir sekali masa hadapan negeri Johor. Johor adalah negeri yang bertuah, rakyat Johor bijak pandai kita selalu sebut subur dengan idea, rencana, rakyat Johor ingin berkhidmat dalam negeri kita sendiri. Negeri kita ini tagihkan kemajuan yang seiring dengan negara seberang kerana kita terlalu dekat dengan Singapura. Apa yang kita janji, kita harus kota. Negeri ini juga tidak boleh berdiri hanya di atas kaki kerajaan sahaja malah pengimbang kerajaan juga boleh menjadi kunci kepada kemajuan negeri Johor.

Sebagai ADUN pengimbang kerajaan, saya beriltizam untuk mencurahkan segala tenaga yang ada ke arah melaksanakan mandat rakyat negeri Johor. Peganglah pada amanah rakyat seperti menggenggam air tiada tiris.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat dan sepakat. Doa saya pada Yang Maha Kaya, negeri Johor terus dilimpahi rahmat dan diberkati dalam setiap langkah membina ketamadunan insan.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa, seterusnya dijemput Yang Berhormat Panti.

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya Panti mengucapkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor serta barisan EXCO atas satu pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang lebih baik.

Bertemakan ‘Maju Johor: Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat’, belanjawan ini hadir dengan 6 teras, 29 strategi dan 99 inisiatif. Diharapkan belanjawan ini dapat memacu negeri, bagi memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat kita laksanakan dan capai sebaiknya.

Setinggi tahniah juga untuk seluruh warga perkhidmatan awam negeri yang dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani atas khidmat cemerlang selama ini.

Keduanya, Panti mengambil peluang sebelum meneruskan perbahasan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Panti turut merafak sembah dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat Sempena Pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-

Pertuan Agung Ke-17. Panti berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dalam menaungi negeri Johor dan negara Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam perbahasan pada hari ini, Panti ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan sesuatu bagi penambahbaikan untuk diberi pertimbangan dan dilaksanakan. Perkara yang ada secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya dari Panti. Sebelum itu, Panti terpanggil untuk menyentuh isu kos sara hidup yang menjadi antara isu paling banyak diperkatakan. Ramai sahabat Ahli Dewan juga ada membangkitkan isu ini secara jelas dan mendalam.

Isunya harga barang semakin naik. Jika dahulu, seorang peniaga nasi lemak membeli beras dengan harga rendah, kini harganya meningkat dengan banyak. Kos meniaga semakin, kos peniaga, kos peniaga semakin naik namun harga nasi lemak tetap tidak berubah. Bagi peniaga kecil mahu meminjam untuk perniagaan pun dengan faedah atau interest dengan izin, yang tinggi. Rakyat semakin terhimpit dan Panti sangat berharap kerajaan dapat memainkan peranan bagaimana memastikan ekonomi negeri dapat sentiasa disemarakkan untuk memberi keuntungan kepada semua pihak.

Memang benar, kenaikan harga barang banyak dipengaruhi keadaan pasaran global ataupun faktor yang disebut oleh Adam Smith, seorang pakar ekonomi dari Scotland pada abad ke-18 sebagai the invisible hand, dengan izin. Namun, ini bukan alasan bagi kerajaan untuk tidak memikirkan intervensi yang berkesan. Saranan Yang Berhormat Benut semalam merupakan saranan yang patut dan seharusnya diambil perhatian sebaiknya. Negeri perlu mencipta sumber baharu dan lebih kreatif dalam menarik pelaburan agar kegiatan ekonomi sentiasa berputar dan bergerak ke hadapan bagi menjayakan Maju Johor 2030 sesuai dengan yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras pertama merupakan satu perkara yang amat penting dalam kita mengurus negeri Johor. Panti mengalu-alukan strategi dan inisiatif yang telah dibentangkan dalam teras pertama ini. Strategi bagi mematikan penyampaian perkhidmatan awam yang responsif merupakan elemen penting yang pasti akan mencapai matlamat menyejahterakan rakyat. Di bawah strategi ini, Panti mohon agar dipertimbangkan memastikan agar komunikasi antara jabatan atau agensi kerajaan dengan rakyat dapat dipertingkatkan lagi. Kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang bagi memastikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat ini menjadi lebih baik.

Banyak aduan diterima yang mengatakan bahawa jabatan dan agensi tidak responsif apabila sesuatu perkara itu diajukan. Kadang-kadang mengambil masa yang lama menunggu jawapan, akhirnya masyarakat terpaksa meminta pihak lain bagi menyampaikan hasrat mereka termasuklah media massa. Perlu ada satu sistem yang sama di seluruh negeri sebagai contoh mewujudkan Service Level Agreement (SLA) yang merujuk kepada satu dokumen yang memperincikan komitmen antara yang memberi perkhidmatan iaitu agensi atau jabatan kerajaan dengan pelanggan iaitu rakyat. Dengan SLA ini, ia perlu dipatuhi dalam memberi perkhidmatan. Mungkin juga penting bagi kerajaan memperkenalkan inisiatif penghargaan bagi agensi atau jabatan yang memperolehi rating tinggi agar mereka sentiasa bersemangat dalam memberi maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah Teras utama juga iaitu strategi memperkukuh tadbir urus syiar Islam, Panti mengalu-alukan inisiatif dari kerajaan membangunkan sistem penyelarasan bantuan masjid, surau dan Sekolah Agama Kerajaan Johor. Pertama, Panti mohon sedikit penjelasan secara lebih mendalam dari kerajaan berkenaan inisiatif ini. Mungkin boleh dijelaskan tentang pelaksanaan serta pemegang taruh yang terlibat. Kedua, Panti berharap agar kerajaan dapat mempertingkatkan lagi peruntukan

khususnya bagi sekolah-sekolah agama berkaitan bagi penambahbaikan serta penyelenggaraan kemudahan sekolah. Panti sedar sememangnya ada kenaikan namun tahap sekolah-sekolah ini kadang-kadang menyedihkan dan perlu ada lonjakan yang ketara berlaku dalam masa terdekat. Selain dari jumlah peruntukan perlu juga dipermudahkan proses permohonan agar sebarang kerosakan dapat diperbetulkan dengan segera. Perlu diingat seperti yang dibahaskan oleh Yang Berhormat Seri Medan semalam, pendidikan merupakan satu perkara penting dan pendidikanlah yang kita dapat merubah masa depan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, teras kedua ialah pembangunan ekonomi dengan strategi memacu industri pelancongan. Panti mengalu-alukan perkara ini seperti yang semua maklum Panti mempunyai banyak kawasan tumpuan pelancong dan ianya merupakan antara industri yang menyemarakkan pembangunan ekonomi khususnya di Panti. Pertama, Panti memohon dimasukkan juga naik taraf bagi beberapa tumpuan pelancongan di Panti seperti Gunung Muntahak dan Gunung Panti itu sendiri. Keadaan infrastruktur khususnya jalan masuk untuk sampai ke kaki bukit gunung ini perlu dibaik pulih. Soal keselamatan juga perlu diambil kira dalam usaha menjadikan tempat-tempat seperti ini menjadi pilihan utama di dalam negara. Kedua, Panti mohon kerajaan untuk memastikan air terjun Kota Tinggi dapat beroperasi dengan seberapa segera.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah teras kedua ini juga melalui strategi keterjaminan makanan akan dilaksanakan inisiatif program pembangunan industri ternakan ayam. Selain daripada kerajaan memberi tumpuan dalam memastikan bekalan ayam ini mencukupi, Panti mohon agar dilihat sama aspek kualiti alam sekitar apabila perkara ini dijayakan. Ini bagi memastikan tidak ada pencemaran bau dan munculnya isu lalat khususnya bagi kawasan ternakan berhampiran dengan penempatan. Ini berlaku di Panti di Kampung Desa Makmur. Pencemaran bau dan isu lalat yang banyakkan muncul apabila lori yang digunakan oleh penternak keluar mengangkut ternakan menggunakan jalan kampung. Perlu ada syarat yang jelas kepada penternak menggunakan jalan sendiri bagi keluar memasarkan ternakan mereka dan pemantauan berkala yang lebih kerap juga perlu dilakukan. Jika ianya masih berlaku, kerajaan perlu mengambil tindakan kepada yang bertanggungjawab bagi memulihkan isu ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya ialah teras kelima iaitu keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar merupakan satu teras yang penting bagi negeri Johor. Syabas kepada pihak kerajaan yang memberi tumpuan atas banyak perkara dalam teras ini melalui 4 strategi serta 27 inisiatif. Strategi yang pertama dan teras kelima ini ialah Johor Lestari. Panti mengucapkan banyak terima kasih atas inisiatif kerajaan kerana memperuntukkan sejumlah RM420,000.00 bagi menaik taraf kawasan perlindungan Panti walaupun hakikatnya Kompleks Suaka Burung Panti ini terletak di kawasan DUN Sedili ianya secara tidak langsung membawa nama Panti dan berharap agar limpahan ekonomi yang wujud kelak akan dapat warga Panti berkongsi, Insya-Allah. Panti juga ingin mencadangkan agar boleh dibuka pintu masuk kedua bagi memasuki kawasan ini yang mungkin boleh terletak di kawasan Panti. Untuk pengetahuan semua, kawasan hutan ini secara kasarnya 40% terletak di kawasan DUN Panti.

Inisiatif seterusnya yang ingin Panti sentuh di bawah strategi Johor Lestari ini adalah inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hijau. Panti menyokong program penghijauan yang dicadangkan dan Panti juga berharap aspek penyelenggaraan dapat diambil kira sebaiknya dan diberi penekanan yang serius. Ini kerana banyak kes pokok tumbang berlaku akibat tiada pemantauan dan penyelenggaraan yang efektif. Antara alasan, adalah kurang peruntukan dan tindakan hanya diambil apabila kes-kes pokok tumbang berlaku. Ini membahayakan masyarakat dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan serta kehilangan harta benda.

Strategi kedua di bawah Teras kelima ini pula akan memberi tumpuan kepada pembangunan Johor Smart City. Antara inisiatif yang baik adalah peruntukan RM44 juta bagi pemasangan CCTV di tempat strategik di kawasan PBT. Panti berharap peruntukan ini dapat ditambah dan diperluaskan merangkumi kawasan luar dari Johor Bahru khususnya di Panti. Isu keselamatan merupakan isu yang dekat dengan masyarakat dan usaha ini perlulah menyeluruh di seluruh negeri Johor. Keselamatan rakyat pelbagai lapisan merupakan antara faktor bagi pelabur datang ke sesuatu kawasan yang akhirnya memberi impak besar kepada negeri Johor. Cuma di Panti, di bawah daerah Kota Tinggi, Panti mohon agar dibantu bukan sahaja inisiatif CCTV ini malah dari pelbagai sudut lain kerana pendapatan yang diperolehi pihak PBT adalah kecil jika dibandingkan dengan PBT lain khususnya di daerah Johor Bahru.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Teras kelima ini juga ada menyatakan strategi Johor Bersih di mana salah satu inisiatifnya adalah memastikan kebersihan persekitaran. Panti mohon agar diberi juga peruntukan bagi pemantauan kualiti dan kebersihan air sungai bukan sahaja di kawasan Pasir Gudang tetapi di kawasan Panti. Sungai-sungai di Panti merupakan elemen penting yang perlu dipastikan kualiti dan kebersihannya. Selain menjadi tempat nelayan darat mencari rezeki, sungai di Panti adalah antara sungai yang mengalir dan terus ke loji-loji rawatan air seperti Loji Air Semangar dan Loji Air Linggiu yang berada di kawasan Panti. Kejadian pencemaran memang pernah berlaku di kawasan ini dan memberi kesan jangka panjang yang buruk. Panti mohon agar cadangan ini dipertimbangkan sewajarnya agar tidak berulang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah teras yang sama, strategi keempat iaitu menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir di Johor. Inisiatif-inisiatif yang dibentangkan juga merupakan inisiatif yang Panti amat alu-alukan. Terima kasih Panti merakamkan atas keprihatinan kerajaan dalam memastikan khususnya isu banjir ini dapat ditangani sebaiknya. Sungai-sungai khususnya di Panti sememangnya perlu di selenggara mengikut jadual dan dengan sempurna agar kejadian banjir dapat dielakkan atau dikurangkan. Ini terbukti apabila Sungai Lalang dan Sungai Jambrut yang lama tidak di selenggara tetapi dapat di selenggara pada akhir tahun 2021, dapat mengurangkan kejadian banjir khususnya banjir kilat di kawasan Panti. Pelaksanaan penyelenggaraan sungai ini perlu berkala dan perlu dalam makluman ketua masyarakat di kawasan terlibat. Ini kerana antara kelemahan yang Panti dapati adalah dari segi pemantauan penyelenggaraan ini. Ada sungai yang sepatutnya di selenggara setiap dua tahun atau setiap tahun contohnya tidak dilakukan dengan alasan kekurangan peruntukan. Akhirnya masyarakat sekitar yang ditimpa musibah sama ada banjir atau hakisan yang berlaku. Selain dari penyelenggaraan sungai, parit dan saliran, penyelenggaraan pam yang sedia ada juga amat penting. Mungkin tidak dinyatakan secara spesifik di dalam pembentangan belanjawan ini namun Panti berharap ianya termasuk dalam perancangan dan sentiasa mencukupi untuk tujuan tersebut.

Satu perkara yang berkaitan dengan banjir ini atau apa sahaja bencana seperti ribut, terbakar dan sebagainya melibatkan kerugian harta benda. Panti ingin cadangkan sekali lagi seperti yang telah disebut dalam sidang Dewan sebelum ini untuk kerajaan negeri mewujudkan satu tabung yang mungkin boleh dipanggil Tabung Bencana Negeri Johor. Tabung ini boleh menjadi satu harapan kepada rakyat untuk mereka mengemukakan permohonan bagi mengurangkan bebanan selepas bencana yang menimpa mereka. Peruntukan untuk tabung ini boleh dimulakan oleh kerajaan negeri dan dibantu oleh agensi kerajaan yang lain. Selain itu syarikat swasta juga boleh menyumbang kepada tabung ini dengan pelbagai inisiatif yang kerajaan dapat beri untuk mereka seperti pengecualian cukai dan sebagainya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan pada kali ini, Panti ingin mencadangkan satu perkara yang Panti kira berkait rapat dengan semua

inisiatif yang dibentangkan. Segala peruntukan Panti harap perlu mengambil kira kes kecemasan sama ada ia di peringkat kerajaan sendiri, agensi atau syarikat swasta seperti konsesi yang melaksana penyelenggaraan seperti jalan dan lain-lain. Seperti contoh jika berlaku jalan terputus akibat culvert pecah dan sebagainya, mungkin di hujung tahun ia tidak dapat dibaiki segera atas alasan peruntukan sudah habis. Ini kerap berlaku dan memberi cerminan yang tidak baik untuk kerajaan khususnya. Maka setiap perancangan yang baik sudah tentu akan mengambil kira perkara-perkara ini.

Seterusnya Panti mencadangkan untuk kerajaan memperbanyakkan dan lebih agresif melaksanakan cross initiative atau blue ocean strategy dalam merangka pelbagai inisiatif. Selain daripada pelbagai GLC negeri dan persekutuan seperti KPRJ, JCorp, PIJ dan lain-lain, IPT awam dan IPT swasta seperti UTM, UTHM, UiTM, UniKL dan lain-lain yang kedudukannya berada di negeri Johor merupakan agensi yang besar potensi bagi kolaborasi ini. Contoh pertama adalah seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Iklim untuk bekerjasama serta berkolaborasi dengan UTM. Contoh kedua adalah bagi negeri menyokong dan menjayakan pelan hala tuju peralihan tenaga. Pelan hala tuju peralihan tenaga negara yang antaranya untuk menjadi negeri rendah karbon pada masa depan. Kolaborasi dengan IPT merupakan satu jalan terbaik. Antara usaha jika dilihat bagi menjayakan negeri rendah karbon ini ialah dengan menggalakkan home based solar system, dengan izin. Cuma isunya home based solar system ini kos pemulanya adalah tinggi, mungkin dengan penglibatan yang diperolehi semasa menggunakan sistem ini dan skim ansuran yang dibeli oleh pembekal akan akhirnya pelaburan yang dibuat oleh pengguna akan dia dapat semula dan juga walau bagaimanapun, pokoknya kos adalah masih tinggi.

Kedua, adalah tentang penggunaan home based solar system itu sendiri. Jika kita lihat syarat Jabatan Tenaga, mereka tidak membenarkan penggunaan bateri bersama sistem ini atas faktor keselamatan. Maknanya tenaga yang dijana oleh sistem ini tidak boleh disimpan dan hanya digunakan pada waktu siang sahaja. Kita tahu penggunaan tenaga elektrik khususnya domestik banyak berlaku di waktu malam di rumah-rumah kediaman. Waktu siang kebanyakannya isi keluar rumah sama ada bekerja, belajar dan sebagainya dan pada malam harilah penggunaan akan naik melalui penggunaan perkakasan seperti penghawa dingin dan sebagainya. Di sini kolaborasi IPT boleh diusahakan, kajian boleh dilakukan agar kos dapat dikurangkan dan perwujudan bateri yang selamat dapat dihasilkan agar ia secara langsung dan tidak langsung negeri rendah karbon ini sebaiknya. Ini adalah sebagai contoh sahaja dan saya yakin banyak lagi isu atau permasalahan rakyat dapat kita selesaikan dengan pelbagai kolaborasi seperti ini, Insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhir sekali Panti mohon mungkin untuk pihak kerajaan mengulas tentang pencapaian Belanjawan 2023 dalam masa penggulungan kelak bagi menunjukkan kepada masyarakat keberkesanan dan kejayaan belanjawan yang lalu. Rakyat seharusnya dimaklumkan segala perkara yang kerajaan janjikan tahun 2023 mencapai tujuan dan sasaran yang ditetapkan. Kesimpulannya Belanjawan 2024 akan datang yang dibentangkan perlulah disokong sepenuhnya walaupun dengan pelbagai rintangan dan keadaan ekonomi yang mencabar pada hari ini, kerajaan di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi berjaya membawa kepada kita satu perancangan terbaik yang akhirnya memberi kesan positif kepada semua golongan. Semoga usaha ini diberkati oleh Allah SWT dan dipermudahkan untuk kita sama-sama laksanakan. Semoga dengan niat ikhlas kerajaan pada hari ini membantu rakyat, Allah SWT memakbulkan doa kita agar negeri Johor sentiasa aman, makmur, maju dan terus kekal di bawah Barisan Nasional menjelang 2030, Insya-Allah. Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Panti mohon menyokong, terima kasih.

Timbalan Speaker

Amin, amin ya rabbal alamin. Terima kasih Yang Berhormat Panti. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Tenang.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Jangan disimpan emas di loker, kelak hilang sendiri kerugian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, memberi kesempatan Tenang mengambil bahagian.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini patik mewakili rakyat Tenang merafak sembah menjunjung kasih mengucapkan selamat ulang tahun keputeraan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim bersempena hari keputeraan baginda yang ke-65 pada 22 November lalu. Patik juga turut merafak sambah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Tuanku sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. Patik dan seluruh rakyat Tenang juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan dan setinggi-tinggi tahniah kerana telah membawa pasukan bola sepak JDT memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Moga Piala Malaysia juga menjadi milik pasukan JDT nanti. Insya-Allah.

Dalam kesempatan ini juga, Tenang ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas kurniaan pingat darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Dato’ bersempena Hari Keputeraan Ke-65 Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Alhamdulillah. Sebelum meneruskan ucapan terlebih dahulu, marilah sama-sama kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT. Kerana dengan limpah dan izinNya dapat kita hidup dengan aman damai di bumi Malaysia yang tercinta ini. Melihat kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh saudara kita di bumi Gaza memberi keinsafan untuk kita sentiasa menghargai kehidupan bersama insan-insan yang tersayang. Dan menguatkan lagi tekad untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan hidup yang dikecapi kini dapat dikekalkan selamanya. Marilah sama-sama kita berdoa semoga konflik yang sedang melanda di bumi Gaza akan menemui titik penyelesaian terbaik.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, meneliti kepada Belanjawan 2024 saya percaya ianya akan membawa kesejahteraan kepada semua. Sesuai dengan temanya “Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat” dengan visi dan misi Yang Amat Berhormat Menteri Besar mahu menjadikan Johor negeri maju menjelang tahun 2030 secara holistik. Perancangan cantik, pengurusan molek. Maka pelaksanaan mestilah terbaik ditambah dengan harapan ekonomi negeri Johor terus berkembang maju. Tenang memohon semua pihak pelbagai peringkat terutama agensi pelaksana dapat melaksanakan sebaiknya apa jua yang telah dirancang dan diputuskan kerajaan. Kami tidak mahu lagi mendengar aduan, keluhan, rintihan rakyat di luar sana yang sering memperkata dan mempersoal tindakan dan pelaksanaan yang dipenuhi dengan ragam birokrasi. Kesukaran berurusan, banyak proses dilalui walaupun kadang kala ianya boleh dipermudahkan dengan kata lain red tape dengan izin. Moga dipermudahkan urusan kita semua melaksana tanggungjawab dan peranan masing-masing sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat. Tahniah sekali lagi Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz, Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan 2024.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pusat Rekreasi Kolam Air Panas nama diberi, sudah dikenali terus melekat di hati, ramai pengunjung datang ke mari menikmati air panas, bersauna merawat diri, antara tarikan Daerah Kecil Labis ialah sumber alam semula jadi yang mampu menjadi tarikan pengunjung luar. Ini bersesuaian dengan inisiatif yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam Belanjawan 2024 di mana tahun 2026 adalah Tahun Melawat Johor. Di sini Tenang ingin mengetengahkan Pusat Eko Pelancongan iaitu Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis yang terletak di dalam kawasan

Tenang. Ianya kaya dengan sumber asli semula jadi, rendah kandungan sulfur dan mampu mengubat serta merawat pelbagai penyakit kulit. Mengikut data statistik yang diperolehi jumlah pengunjung seramai 96,000 orang direkodkan bagi tahun lepas dan pada tahun ini. Angka ini menunjukkan dengan fasiliti yang sedia ada, Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis ini boleh dilihat sebagai satu tarikan yang menjadi perhatian kepada pengunjung di dalam negeri mahupun luar negara serta mempunyai potensi yang tinggi dalam menaikkan imej sektor eko pelancongan di kawasan Labis terutamanya Tenang. Sekiranya ditambah baik, ianya dapat membantu menarik lebih ramai lagi pengunjung. Pihak Majlis Daerah Labis telah merancang beberapa pembangunan fasiliti yang baru dan juga penambahbaikan fasiliti sedia ada. Antara perkara yang dirancang adalah keceriaan landskap di kawasan tersebut dengan tujuan untuk menambahkan elemen luar bandar yang tenang sesuai dengan arus pemodenan masa kini yang mana rakyat Malaysia cenderung untuk memilih meluangkan masa lapang bersama keluarga jauh dari kesesakan dan hiruk pikuk belantara konkrit.

Antara penambahbaikan fasiliti yang dirancangkan ialah glamping site, riding, pool kanak-kanak, tapak kolam air panas yang baru serta gerai-gerai jualan. Untuk makluman, pihak Majlis Daerah Labis telah memohon peruntukan daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur, ECER dan telah menerima jawapan positif untuk tujuan menaik taraf Pusat Rekreasi tersebut. Pihak ECER juga telah membuat lawatan tapak bagi tujuan perancangan pembangunan tersebut. Tenang memohon agar projek ini disegerakan dan diberi keutamaan selaras dengan matlamat menjadikan tahun 2026, Tahun Melawat Johor. Tak sebut, tak cakap nanti jadi lambat Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bermula tahun 2018 sehingga kini, terdapat pembinaan Projek Landasan Berkembar Kereta api Gemas – Johor Bahru milik kerajaan yang dipantau oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh iaitu SIPP-YTL Sdn. Bhd. Berdasarkan pelan perancangan pembangunan yang telah diluluskan termasuklah lampu jalan di kawasan Labis, ROB08. Pemajuan pembinaan lampu jalan di kawasan ROB08 adalah tertumpu di jalan persekutuan FT001 di sekitar kawasan Labis dari Balai Polis Labis hingga di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Labis. Laluan ini merupakan laluan utama protokol bagi program yang berkaitan pembesar-pembesar negeri Johor. Justeru itu, terdapat keperluan untuk memasang tiang lampu kerawang dengan izin decorative lamp yang dapat menonjolkan identiti negeri Johor. Diharap pihak pelaksana projek dapat mengambil kira perkara ini supaya dapat dilaksanakan dalam kerja-kerja pemasangan lampu jalan di dalam kawasan pemajuan landasan kereta api berkembar dengan izin, double track.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada tahun 2018, Majlis Daerah Labis juga telah mendapat kelulusan untuk membina sebuah mini stadium. Kelulusan ini diberikan oleh pimpinan kerajaan terdahulu. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak dapat dilaksanakan kerana pertukaran kerajaan pada ketika itu. Tetapi, adalah tidak dapat dinafikan terdapat keperluan bagi menyediakan kemudahan fasiliti mini stadium bagi memenuhi keperluan riadah rakyat Labis terutamanya Tenang. Kita dengar aje ada kawasan yang telah pun diluluskan mini stadium dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini. Dengan keluasan 3.62 ekar, mini stadium ini dapat digunakan oleh 32 kelab bola sepak di seluruh Daerah Segamat dan 6 daripadanya adalah di dalam Daerah Kecil Labis. Selain aktiviti bola sepak terdapat aktiviti lain yang boleh diadakan. Antaranya perarakan hari kemerdekaan, hari sukan sekolah, aktiviti berjoging dan penduduk setempat serta lain-lain aktiviti rasmi. Tambahan lagi di dalam kawasan sekitar mini stadium ini terdapat 6 sekolah menengah dan 7 sekolah rendah yang boleh menggunakan mini stadium ini bagi tujuan aktiviti sukan sama ada bagi sukan tahunan dan pertandingan-pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri. Dengan cadangan komponen padang bola mengikut piawaian FIFA, bangunan astaka yang terkandung, bilik persalinan dan tandas, kemudahan-kemudahan lain termasuklah tempat letak kereta, tembok penahan dan lampu limpah. Semua kemudahan ini melibatkan kos anggaran sebanyak RM6.8 juta. Insya-Allah boleh dilaksanakan.

Tenang sangat-sangat mengharapkan kerajaan negeri di bawah Yang Berhormat Menteri Besar dan YB EXCO Sukan untuk melihat dan meneliti kembali keperluan serta membawa ke peringkat persekutuan dalam menjayakan pembangunan mini stadium ini. Kami tunggu pengumumannya dan selewat-lewatnya tahun hadapan dalam Belanjawan 2025, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Tenang juga tidak terlepas daripada isu perumahan mampu milik untuk rakyat. Pada tahun 2018, Majlis Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri pada ketika itu bagi Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bukit Mambai, Labis. Ianya adalah projek kerajaan negeri menerusi PIJ Holdings membabitkan sejumlah 380 unit Rumah Mampu Milik Johor. Perumahan Komuniti Johor A dan Perumahan Komuniti Johor B dengan harga jualan di antara RM42,000.00 dan RM150,000.00. Projek ini tidak dapat diteruskan kerana pertukaran kerajaan selepas itu. Sehubungan itu, Tenang memohon dan mencadangkan kerajaan negeri pada hari ini meneliti dan mengkaji semula untuk meneruskan projek tersebut bagi keperluan rakyat Tenang memiliki rumah sendiri. Percayalah permintaannya sangat tinggi dan masih dinanti-nanti.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada hari ini perkembangan sistem pengangkutan awam seiring dengan kemajuan dan kemodenan sesebuah negeri menjadi sebahagian daripada indikator dalam kesejahteraan rakyat. Justeru, inisiatif kerajaan negeri memperkenalkan Bas Muafakat Johor merupakan langkah proaktif yang membantu perkembangan sistem pengangkutan awam khususnya untuk kebajikan rakyat. Selain itu, dengan adanya sistem pengangkutan e-Hailing bukan sahaja memberi pilihan kepada rakyat memilih sistem pengangkutan tetapi juga berperanan sebagai penyumbang kepada pendapatan isi rumah. Kemudahan e-Hailing memberi ruang kepada rakyat untuk mempelbagaikan pendapatan keluarga. Namun begitu, kita mungkin terlupa. Sistem pengangkutan ini secara tidak langsung memberi impak kepada pengusaha kereta sewa dan teksi yang telah bertapak sekian lama. Secara tidak langsung, perkembangan ini turut menjejas pendapatan golongan ini yang terpaksa bersaing dengan pengusaha e-Hailing untuk mendapatkan pelanggan. Justeru, Tenang ingin mencadangkan sebagai langkah yang adil dan memberi ruang kepada semua pihak untuk menjana pendapatan, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk mengatasi isu ini.

Pertamanya, Tenang ingin mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan insentif tetap kepada pengusaha kereta sewa dan teksi secara kekal untuk membantu golongan ini dengan inisiatif melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor menyediakan kemudahan pengangkutan kepada asnaf yang menerima rawatan di pusat-pusat dialisis. Pihak MAIJ boleh menyewa secara tetap kereta sewa dan teksi ini untuk membawa pesakit yang menerima rawatan di pusat dialisis saban minggu.

Keduanya, perkhidmatan juga boleh dikembangkan kepada pusat jagaan orang-orang tua atau orang perseorangan untuk membawa mereka menerima rawatan di klinik dan hospital. Inisiatif ini juga boleh disebarkan kepada golongan asnaf yang ingin mendapatkan perkhidmatan kereta sewa dan teksi untuk mendapatkan rawatan yang serupa atau lainnya. Makanya, Teras Ketiga Jaringan Keselamatan Sosial, Strategi 1 Johor Berkebajikan dan Inisiatif 7 Bantuan Kebajikan Ummah dapat diperluaskan kepada golongan yang diperkatakan tadi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, hari ini kita bakal berhadapan dengan gelombang monsun yang membawa hujan lebat di kebanyakan kawasan di negeri Johor. Fenomena ini secara langsung akan turut menyebabkan bencana banjir. Fenomena banjir ini bukanlah sesuatu perkara yang baru, pastinya semua pihak sedang bersiap siaga. Di kesempatan ini, Tenang ingin merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri Johor. Namun, Tenang ingin menarik perhatian berkaitan

petugas-petugas sukarelawan yang bertugas ketika bencana banjir. Untuk pengetahuan, kebanyakan petugas ini merupakan pekerja sukarela. Ianya tidak berdaftar ya, sama ada di bawah agensi kerajaan ataupun NGO-NGO terdiri daripada warga kampung ya. Saya ulang sekali lagi, petugas-petugas sukarelawan ini terdiri daripada warga kampung dan individu yang ingin menyumbang tenaga tulang empat kerat dan keringat kepada mangsa-mangsa banjir di PPS. Golongan inilah yang merupakan tulang belakang, sayap kiri dan kanan PPS. Fungsi dan peranan mereka sangat besar, saban masa selepas bencana banjir, Pihak Berkuasa Tempatan ada yang menganjurkan majlis, majlis menghargai sukarelawan-sukarelawan yang bertugas. Tetapi kita sering kali terlupa dan terlepas pandang kelompok petugas sukarelawan yang saya nyatakan tadi.

Justeru, Tenang ingin mencadangkan agar diwujudkan insentif khas kepada petugas-petugas sukarelawan yang tidak didendang ini. Pengalaman Tenang memerhati perkembangan ini, petugas-petugas di PPS ini bertugas penuh dedikasi tanpa mengira masa. Oleh itu, amatlah berpatutan, kerajaan negeri hari ini menilai jerih perih mereka, insentif khas yang dicadangkan ini meliputi kebajikan petugas sukarelawan di PPS dan imbuhan selepas bencana. Insya-Allah moga dapat dipertimbangkan sebaiknya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) adalah satu program anjuran Jabatan Kebajikan Masyakat bagi pemulihan anak-anak istimewa. Ianya memberi peluang membangunkan kebolehan dan kemahiran mengikut potensi yang ada di dalam diri anak-anak ini. Rentetan itu Tenang memohon elaun penyelia dan petugas PDK disemak semula selaras dengan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM1,500.00. Ini berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat, selain bebanan kerja mereka yang tidak mudah, memerlukan tahap kesabaran dan empati yang tinggi dan bukan semua orang berminat untuk melakukannya.

Mohon semua yang ada dalam Dewan ini, datanglah ke PDK dan melawat serta melihat sendiri petugas-petugas ini mengendalikan pelatih di bawah jagaan mereka. Selain itu, mohon dipertimbangkan bayaran bonus kepada mereka sepertimana diumumkan di dalam belanjawan baru-baru ini mengikut kesesuaian semasa, tidak perlulah sama tetapi sekurang-kurangnya ada untuk mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Tenang merakamkan ucapan terima kasih di atas tindakan turun padang Yang Berhormat EXCO Pendidikan ke Kompleks Kuarters Guru yang sekian lama terbiar di Labis, pada 10 November lalu. Tenang telah membawakan isu ini pada sidang DUN pertama sebaik PRN 2022. Tenang mengharapkan masalah ini diberi keutamaan dan tindakan penyelesaian segera.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kalau boleh hari ini juga saya minta jentolak, tolak bangunan tersebut dan ratakan kawasan tersebut supaya apa? Supaya rakyat nampak inisiatif dan kesungguhan kerajaan menanganinya. Sebab ianya telah terlalu lama menjadi gajah putih di mana untuk makluman ianya dibina pada tahun 2002 dalam RMK-8, mula diduduki pada tahun 2004 dan kosong serta tidak diduduki lagi pada tahun 2015. Ianya menjadi tular dan kecaman di media sosial dan ada juga yang memberi reaksi negatif dan positif tetapi saya berharap pihak YB EXCO Pendidikan dapat segerakan cadangan bagaimana ianya dapat dilaksanakan dengan segera.

Akhirnya, tahniah dan syabas sekali lagi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan 2024, yang sangat teliti, penuh pelbagai inisiatif demi rakyat yang disayangi. Sekian, daripada saya mewakili suara hati masyarakat Tenang, semoga apa yang saya sampaikan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya demi kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran masa depan. Tenang dengan ini menyokong. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Tenang, tenang aja. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sidang saya tangguhkan sehingga 15 minit sehingga 3.45 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.30 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3.45 petang.

Timbalan Speaker

Persidangan disambung semula. Yang Berhormat Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Selamat petang, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Salam Malaysia Madani Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Johor yang saya hormati.

Saya berdiri di hadapan anda hari ini dengan rasa tanggungjawab dan rasa syukur sebagai Wakil Rakyat Bukit Batu. Ini adalah satu penghormatan dan satu keistimewaan untuk berkhidmat kepada rakyat negeri Johor dan saya sentiasa berkomited kepada prinsip keadilan, akauntabiliti dan kemajuan negeri Johor.

Dengan ini Bukit Batu ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan tahniah dan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pemilihan baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.

Di Dewan yang mulia ini saya ingin menyuarakan kebimbangan dan kekesalan saya mengenai kualiti udara yang semakin teruk di sekitar Taman Puteri, Kulai, Fasa 4 baru-baru ini. Sepanjang beberapa minggu terakhir, terdapat peningkatan ketara dalam tahap pencemaran udara yang memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kesejahteraan penduduk setempat. Isu utama yang menyumbang kepada situasi yang mengkhuatirkan ini adalah pembakaran terbuka yang mungkin mengandungi sisa perindustrian pencemaran udara. Dan punca-punca ini bukan sahaja merosakkan udara yang kita hirup tetapi juga memberikan risiko kesihatan yang ketara kepada masyarakat setempat termasuk kanak-kanak, warga emas, individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Walaupun keseriusan situasi ini, tapi nampaknya sedikit tindakan telah diambil untuk menangani dan membetulkan punca pencemaran ini. Ketiadaan usaha yang ketara daripada pihak berkuasa yang berkaitan mengecewakan, mengecewakan dan menimbulkan pertanyaan serius mengenai kesejahteraan komuniti kita secara keseluruhan. Oleh itu, saya memohon kepada EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, Yang Berhormat Tuan Raven Kumar dan agensi kerajaan negeri yang berkaitan agar penyelidikan segera dijalankan untuk mengenal pasti punca-punca utama yang menyumbangkan kepada peningkatan tahap pencemaran di kawasan tersebut dan mengimplikasikan langkah-langkah yang berkesan untuk mengawal kadar pencemaran tersebut.

Selain itu, saya juga meminta kemas kini berkala mengenai kemajuan yang dicapai untuk membetulkan keadaan ini dan memastikan persekitaran kehidupan yang lebih sihat untuk semua penduduk. Selanjutnya saya juga mencadangkan penubuhan program kesedaran masyarakat untuk mendidik penduduk mengenai kesan buruk pencemaran udara dan menggalakkan amalan mampan. Dengan memupuk rasa tanggungjawab dan kesedaran, kita dapat untuk mengurangkan impak alam sekitar dan melindungi kesihatan komuniti kita. Saya sangat menghargai perhatian segera terhadap perkara ini dan yakin bahawa tindakan segera akan diambil untuk mengatasi krisis pencemaran udara yang semakin meningkat di kawasan Bukit Batu.

Selain itu, saya juga ingin membawa satu isu yang membimbangkan mengenai Sedenak Tech-Park (STeP) sebelum ini dikenali sebagai Kulai Iskandar Data Exchange Index

(KIDEX). Seperti kita dimaklumkan, ia adalah kawasan seluas 745 ekar yang ditetapkan untuk menarik pembangunan pusat data. Kawasan ini dilindungi dengan selamat dan dilengkapi dengan sumber tenaga dan air yang banyak. Semuanya penting untuk operasi pusat data standard antarabangsa. STeP juga telah mendapat sokongan penuh bebanan dan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi utama Malaysia untuk pertumbuhan ICT dan ekonomi digital dan ketetapan dan sambungan gentian gelapnya ke Singapura, meletakkan ia sebagai hab data alternatif utama untuk rantau Asia Tenggara.

Inisiatif ini telah menyumbangkan pelbagai kebaikan seperti pertumbuhan ekonomi dengan aktiviti perniagaan yang meningkat, boleh menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan kawasan tempatan dan pemindahan teknologi yang dibawa syarikat asing dapat membawa teknologi dan amalan yang canggih yang boleh memberi manfaat kepada tenaga kerja dan industri tempatan.

Pelabuhan, pelaburan asing juga telah menyebabkan peningkatan dalam infrastruktur tempatan seperti pengangkutan dan utiliti. Namun, terdapat juga beberapa keburukan yang telah menjadi kerisauan ramai penduduk tempatan di sekitar kawasan tersebut. Kemasukan perniagaan asing telah menyebabkan cabaran budaya terhadap tradisi tempatan. Di pejabat DUN Bukti Batu, saya menerima beberapa aduan daripada penduduk tempatan bahawa warga asing yang bekerja di kawasan tersebut membuang sampah merata-rata. Dan rakyat tempatan bimbang bahawa ia akan membawa kemudaratan kepada kesihatan.

Selain itu, isu yang timbul pengurangan pengambilan pekerja tempatan di syarikat korporat multinasional yang menetap di STeP. Saya ingin menegas, kenyataan saya di sini bahawa keutamaan untuk mengajikan pekerja asing boleh menyumbang kepada kadar pengangguran tempatan yang tinggi, membawa kepada cabaran sosial dan ekonomi. Tambahan pula jika pekerja tempatan tidak dilatih dengan baik atau dimasukkan dalam peranan utama, terdapat risiko kekurangan pengetahuan dan kehilangan peluang untuk pembangunan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja tempatan. Peluang yang tidak saksama bagi pekerja tempatan dan asing boleh menyebabkan ketidak seimbang, ketidakseimbangan pendapatan dan mencipta ketegangan sosial dalam masyarakat.

Negara kita juga tidak boleh bergantung terlalu banyak kepada pekerja asing, boleh mencipta kerentanan bagi syarikat menghadapi perubahan dalam Dasar Imigresen. Isu geopolitik atau kemerosotan ekonomi di negara asal pekerja asing, representasi yang rendah dalam kalangan pekerja tempatan dalam jawatan pembuatan keputusan boleh mengakibatkan kurangnya pertimbangan terhadap keperluan dan pilihan tempatan dalam keputusan strategi syarikat.

Penyelesaian kepada isu-isu ini kerap melibatkan pelaksanaan dasar-dasar yang perlu memberi keutamaan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan dengan menyediakan peluang latihan dan memupuk budaya tempat kerja yang inklusif dan menghargai kepelbagaian dan memastikan peluang yang sama untuk pekerja tempatan.

Saya juga ingin mengambil peluang keemasan ini untuk memberikan sebuah cadangan dan menginginkan untuk dipertimbangkan iaitu cadangan projek di laluan FT001, Jalan Persekutuan Johor Bahru ke Ayer Hitam yang berada di dalam kawasan Bukit Batu. Laluan ini merupakan jalan perhubungan utama ke utara dan selatan. Saya ingin membawa cadangan ini atas kekurangan, kekurangan fasiliti pusingan ‘U’ dan beberapa lokasi persimpangan tidak mempunyai lorong percepatan dan kelambatan yang mencukupi. Tahap perkhidmatan semasa waktu puncak mengalami penyusutan mendadak memandangkan ianya merupakan laluan penghubung utama tanpa tol di antara daerah Kulai dan Kluang.

Kewujudan sektor perindustrian di sepanjang laluan ini merupakan kepada peningkatan komposisi kenderaan berat yang menjadi punca utama berlakunya kesesakan trafik.

Perlaksanaan projek menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala sepanjang 17.7 km adalah amat mendesak menjelang pengoperasian penuh Sedenak Tech Park (STeP) seluas 745 ekar di Sedenak. Ia adalah pelaburan berteraskan teknologi dalam negara dengan fasiliti di mana pelabur dan syarikat IT antarabangsa kelak akan membuka pusat-pusat data dan perkhidmatan awam. Sebanyak tujuh buah kilang kuari beroperasi di laluan ini menyumbang kepada peningkatan bilangan kenderaan muatan berat di laluan ini. Jalan sedia ada tidak dapat menampung beban trafik di mana daerah Kulai yang merupakan daerah terdekat dengan pusat bandar Johor Bahru turut menerima tempat pembangunan, industri perkilangan, perumahan dan hasil galian yang pesat di daerah Kulai. Peningkatan kemudahan infrastruktur jalan raya di daerah Kulai sejajar dengan cadangan bagi menaik taraf daerah ini menjadi bandar raya menjelang tahun 2025. Sejajar dengan Rancangan Tempatan Daerah RTD dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang selesa dan selamat kepada pengguna jalan raya.

Saya berharap Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi dan Kerajaan Negeri Johor dapat memenuhi hasrat ini dan dapat mempertimbangkan untuk menyediakan jaringan raya, jalan raya yang strategik buat pelabur. Peningkatan yang dicadangkan ini adalah, dan kemudahan yang berkaitan adalah penting untuk pertumbuhan dan pembangunan mampan kawasan daerah Kulai. Kami dengan rendah diri memohon sokongan dan pertimbangan Menteri Besar Johor terhadap projek ini kerana ia sejajar dengan wawasan bersama kita untuk komuniti yang lebih selamat, efisien dan dinamik dari segi ekonomi. Terima kasih atas masa dan perhatian anda semua terhadap perkara ini. Saya selaku ADUN Bukit Batu berharap dapat berbincang lebih lanjut mengenai cadangan projek ini.

ADUN-ADUN yang dihormati, secara kesimpulannya, dengan perasaan yang amat syukur saya ingin menyatakan jutaan terima kasih saya yang tulus dan ikhlas kepada Kerajaan Negeri Johor dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi kerana menyelesaikan projek selekoh `S` yang telah menjadi salah satu impian yang signifikan kepada warga Kulai. Saya juga ingin berterima kasih kepada YB EXCO Bukit Pasir, YB EXCO Bukit Permai, YB Senai dan juga Ahli Parlimen Kulai yang sentiasa bekerjasama bersama saya untuk membantu dalam penyelesaian isu ini. Komitmen Kerajaan Negeri Johor dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor terhadap pembangunan infrastruktur tidak hanya meningkatkan kemajuan, tetapi juga meningkatkan keseluruhan kualiti hidup penduduk setempat. Penyelesaian projek-projek sakit sebegini mencerminkan dedikasi kerajaan negeri dalam menangani keperluan rakyat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Pelaksanaan projek-projek ini dengan lancar dan cekap adalah bukti kepada kerja keras dan dedikasi semua pihak yang terlibat. Daripada perancang dan jurutera sehinggalah pekerja pembinaan yang menghadapi cabaran untuk menjadikan pembaharuan ini sebagai kenyataan. Jalan-jalan yang baru dinaik taraf bukan sahaja membawa kemudahan kepada pengguna harian, tetapi juga menyumbang kepada daya tarikan daerah Kulai untuk pelabur industri yang berpotensi.

Akhir kata, saya berharap agar Dewan Undangan Negeri Johor ini dapat mempertimbangkan cadangan-cadangan ini dengan serius dan mengambil langkah-langkah untuk menjadikannya kenyataan. Pembangunan yang berterusan dalam semua aspek adalah kunci untuk mencapai masyarakat yang sejahtera dan dinamik. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Batu. Dijemput Yang Berhormat Endau.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Pertamanya Endau merafakkan puji dan syukur kepada Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad SAW atas limpah kurnia serta

keberkatannya Endau berada dalam Dewan yang mulia pada petang ini. Terima kasih Endau ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan kali ini. Sesungguhnya Persidangan pada kali ini adalah penting bagi Endau untuk menyampaikan beberapa permasalahan yang dihadapi di kawasan Endau. Semoga apa yang Endau bangkitkan pada kali ini mendapat perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Terlebih dahulu Endau merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang menyambut hari ulang tahun keputeraan Baginda ke-65 pada 22 November yang lalu. Patik mewakili sekalian rakyat dalam kawasan DUN Endau mendoakan agar Tuanku sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan bertambah daulat, bersemayam di atas takhta kerajaan Tuanku, ampun Tuanku. Patik juga merafak setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku kerana telah dipilih dan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-17. Patik yakin dan percaya bahawasanya Tuanku akan melaksanakan tugas tersebut dengan cemerlang bersandarkan kebijaksanaan, kebijaksanaan Tuanku, ampun Tuanku.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini juga Endau ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Dato’. Endau juga merakamkan ucapan tahniah sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan seluruh pasukannya kerana telah berjaya merangka, merancang, menyediakan serta membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada perbahasan kali ini, bagi menyampaikan suara hati orang Endau. Pertama, mengenai pertanian dan keterjaminan makanan. Dalam usaha kita mempergiatkan ekonomi melalui agenda keterjaminan makanan, perkara pokok dan asasnya yang perlu kita lihat adalah berkaitan bagaimana kita memaksimumkan sumber iaitu tanah. Jika kita lihat khususnya di kawasan luar bandar, petani hanya mampu mengusahakan pertanian mereka dalam skala kecil sahaja kerana ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai tanah yang luas dan ada yang sampai terpaksa menyewa atau memajak tanah orang. Contoh mudah, petani yang mengusahakan tanaman kontang, kontan dalam kawasan Endau paling luas tanah yang mereka ada pun tidak lebih dari lima ekar sahaja. Dengan keluasan yang ada sebesar itu, macam mana mereka nak keluarkan hasil yang banyak. Mampukah hasil yang tidak seberapa itu menampung permintaan dalam pasaran? Itu belum cerita pulangan yang mereka dapat, banyak mana sajalah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Sebab itu Yang Berhormat sekalian, bila kita cakap hal keterjaminan makanan ini,keterjaminan pendapatan petani pun kita kena tengok sama. Justeru Endau secara konsisten merasakan dalam, merasakan kerajaan negeri kena mengambil inisiatif dalam perkasakan petani sedia ada dan dalam masa yang sama kita lahirkan juga golongan orang muda menjadi petani moden berteknologi. Tahun demi tahun, pelbagai teknologi pertanian dicipta dan diperkenalkan. Dulu orang tabur benih padi secara manual, sekarang dah boleh pakai drone. Dulu orang membaja atau meracun secara tenaga manusia, sekarang dah boleh pakai timer, dengan izin.

Seperkara lagi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, hal tanah milik Setiausaha Kerajaan Negeri Diperbadankan atau kita panggil tanah milik SSI. Endau dah pernah bangkit hal ini yang mana di kawasan Endau, tanah SSI ini banyak dan luas. Jadi sekali lagi Endau pohon kerajaan negeri kaji semula terma dan syarat bagi pajakan tanah SSI ini. Bukan dari segi apa, dari segi bayaran pendahuluan, kalau boleh semak balik kaedah dan amaun itu. Sebab Endau dimaklumkan jumlah yang dikenakan itu sangat tinggi dan perlu dibayar selepuk, serentak katanya. Kadang-kadang petani ini pun kurang modal juga pada

mula-mulanya. Jadi Endau mohon pihak kerajaan tengok balik macam mana kita dapat bantu dalam hal ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, keduanya sekali lagi hal perumahan. Hal ini tidak pernah habis Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Baik soalan lisan ke, soalan bertulis, dalam perbahasan ke, Endau selalu sebut dan akan terus utarakan. Tapi sebelum itu, Endau nak ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor yang telah menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai di taman perumahan Koperasi Nelayan Endau. Alhamdulillah, terima kasih YB, Endau terhutang budi. Berbalik isu rumah ini, semua tahu Endau kawasan luar bandar. Ramai orang susah, kadang-kadang satu rumah itu ada sampai empat atau lima keluarga. Nak sewa mahal sangat, sampai 600, 700. Nak beli lagi mahal, sampai ratus ribu. Nak buat rumah, tanah tidak ada. Jadi apa yang mereka harap, harap pada rumah murah yang mampu mereka beli, sesuai dengan pendapatan mereka. Endau sudah ada satu projek yang berjaya di bawah kerajaan negeri iaitu Projek Perumahan Datuk Ajib. Projek ini zaman Yang Berhormat Dato’ Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor dan ketika itu Yang Berhormat Datuk Latif Bandi sebagai EXCO Perumahan. Projek ini mampu membantu orang-orang yang susah. Harga rumah tidak sampai RM50,000 siap ada subsidi kerajaan, bayaran secara sewa beli selama 30 tahun, jadi Endau pohonlah kerajaan negeri fikirkan satu mekanisme atau kaedah yang lebih kurang sama macam Taman Datuk Ajib ini. Endau merayu sekali lagi akan keprihatinan kerajaan negeri dalam soal pembangunan perumahan kerana rumah ini asas kepada semua.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ketiganya adalah berkaitan pendidikan. Pendidikan ini mana-mana negara, mana-mana negeri, mana-mana pemimpin perlu ambil berat. Kemajuan, pembangunan sesebuah negara mahupun negeri bergantung tahap pendidikan, pemikiran warganya. Dalam temu bual Program Keluar Sekejap pun Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor menyampaikan bahawa fokus pertama baginda sebagai Pemangku Raja adalah menyentuh soal pendidikan. Jadi kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan perlu ambil berat hal pendidikan di Johor ini. Endau pernah memaklumkan melalui soalan Dewan berkaitan trek olahraga di Mersing. Pada ketika itu, Endau menerima jawapan bahawa tiada rancangan untuk membina atau mewujudkan sebuah trek olahraga di daerah Mersing.

Untuk makluman sidang Dewan, sehingga kini Mersing langsung tidak mempunyai fasiliti trek olahraga bagi kegunaan pihak sekolah dalam sebarang acara, baik MSSD, MSSJ mahupun MSSM. Kita terpaksa menggunakan padang yang sedia ada di sekolah-sekolah. Nak maklum, padang dekat sekolah-sekolah ini pun kondisinya bukanlah elok sangat. Kalau ketika kejohanan berlangsung hujan turun, padang jadi lecak dan berlopak teruk. Sudah macam berlari dalam sawah padang Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Kesian tengok anak-anak kita, pelajar-pelajar kita berlumpur, berlecak mereka. Endau dimaklumkan daerah lain kebanyakannya sudah ada. Mersing saja daerah yang tidak ada lagi. Kita kenalah sediakan fasiliti yang baik sebab kemenjadian pelajar itu yang kita fokuskan. Endau ada berbincang dengan Pengetua SMK Seri Mersing dan Endau rasa bila sebut SMK Seri Mersing, sekolah ini tidak lari dengan kejayaan-kejayaan dalam bidang akademik, malah kejayaan utama adalah berkaitan sukan ragbi. Jadi Pengetua bersedia dan menawarkan diri untuk pihak kerajaan membina sebuah trek olahraga daerah Mersing di sekolah ini. YB EXCO Pendidikan dan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, besar tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Semoga permohonan fasiliti Endau ini dapat dipertimbangkan dan dimasukkan dalam Bajet 2024 bagi membina trek olahraga pertama di daerah Mersing ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kebajikan tenaga pengajar juga perlu kita lihat sama dalam hal ini. Benar mereka dapat gaji, benar itu tugas mereka, benar itulah kerjaya yang mereka pilih. Namun sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, aspek kebajikan juga kita perlu lihat. Justeru Endau mohon agar kerajaan menyediakan atau menghadiahkan sebuah

van jenazah ke setiap Pejabat Pendidikan Daerah dalam negeri Johor atau sekurang-kurang sebuah van jenazah di Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi kegunaan kematian warga Pendidikan. Kita nampak isu ini remeh tapi fardu kifayah itu kena ada. Setakat ini, di JPN mahupun di PPD masih tidak ada van jenazah untuk kegunaan warga Pendidikan. Van ini bukan hanya boleh digunakan pakai oleh Pegawai Pendidikan, tapi boleh juga digunakan oleh staf sokongan dalam Jabatan Pendidikan ataupun pelajar dalam negeri Johor. Kalau kita lihat, polis ada van jenazah mereka, askar ada van jenazah mereka, hospital memang semestinya ada van jenazah, tapi guru yang hampir 400,000 orang ini, sebuah van jenazah pun tak ada. Jadi, Endau mohon juga lah hal ini dapat perhatian pihak kerajaan. Mana Bajet 2024 yang boleh di selit-selit itu, mohon pihak kerajaan selitkan dan belanjakanlah demi kebajikan warga pendidikan di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, yang terakhir ini yang ingin Endau akan sentuh secara sekali lalu sahaja. Jadi Endau mohon pihak ada, pihak jabatan yang ada di sini yang berkaitan boleh take note dengan izin dan ambil tindakan.

Pertama, sekali lagi kalau boleh Endau minta pihak Jabatan Kerja Raya untuk tengok balik pencahayaan jalan di kawasan Masjid Kampung Sawah Dato. Endau dah dapat banyak kali aduan daripada orang kampung yang mana sering berlaku kemalangan di situ disebabkan jalan yang gelap. Kadang-kadang lampu jalan hidup, kadang-kadang tak hidup.

Kedua, mohon kerajaan semak balik peruntukan khas RM10.5 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 28 Januari 2023 yang lalu ketika beliau melawat PPS, Politeknik Mersing. Peruntukan yang beliau umumkan ini adalah bertujuan untuk pembinaan rumah pam dan pembelian tiga pam air. Ini dah masuk musim Monsun Timur Laut, peruntukan yang diumumkan itu adalah untuk kawasan berisiko banjir. Kita nak kurangkan kawasan terjejas banjir, jadi mohon kerajaan dan jabatan berkaitan semak hal ini dan mohon maklumkan statusnya di dalam sidang pada kali ini juga.

Ketiga, Endau nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang umumkan peruntukan sejumlah RM1.8 juta bagi projek di Air Papan, Bukit Selantai, Floating Jety dan Pulau Mawar. Endau yakin dengan tersedianya peruntukan ini akan meningkatkan lagi keindahan fasiliti dan keselesaan buat pelancong. Sudah pasti lokasinya semua adalah dalam kawasan DUN Endau. Terima kasih sekali lagi kepada pihak kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Endau rasa setakat ini sahaja yang Endau ingin sampaikan di Dewan yang mulia ini. Endau sentiasa menginsafi bahawa setiap pemimpin sentiasa ada kelebihan dan kelemahannya. Kalau kelebihan yang ada Endau akan terus perjuangkan membawa suara hati rakyat Endau di Dewan yang mulia ini. Segala kelemahan yang ada pula, akan sentiasa Endau perbaiki dari masa ke semasa. Mengambil kesempatan ini, Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Johor, ketua-ketua jabatan di peringkat negeri mahupun persekutuan yang sentiasa membantu Endau dan penduduk kawasan DUN Endau. Endau tidak berkecil hati jika Endau dilibatkan sebarang progam dalam membantu rakyat kerana akhirnya Endau yakin penduduk Endau menerima manfaatnya. Semoga dengan muafakat kita semua sebagai Bangsa Johor, negeri ini akan terus makmur di bawah rahmat Allah SWT. Akhir kalam, Endau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker atas ruang dan peluang berbahas pada kali ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Endau menyokong.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Endau. Dijemput Yang Berhormat Permas.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang

Berbahagia Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang dimuliakan. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan kurnianya Permas dapat sekali lagi bersama-sama di dalam Dewan ini. Lebih-lebih lagi terdapat ucapan-ucapan yang sangat menarik oleh Yang Amat Berhormat Machap dalam pembentangan Belanjawan 2024. Terima kasih banyak kepada Yang Amat Berhormat Machap.

Timbalan Speaker

Berhenti sekejap beri laluan untuk azan, Permas.

(Persidangan berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan.)

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ingin merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluknya sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada Tuanku yang telah dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-17. Permas juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Sultan Ismail, Tunku Mahkota Johor yang berjaya meletakkan pasukan JDT ke tahap yang digeruni oleh pasukan lain termasuk Kedah. Usaha DYAM Tunku telah memberi impak yang baik kepada sukan bola sepak tanah air hingga pasukan Harimau Malaya menampakkan kemajuan yang baik di mana Malaysia berada di kedudukan yang pertama dalam kumpulan D, walaupun baru main tapi dia juara dalam kumpulan D ketika ini dan seramai 13 orang pemain JDT mewakili pasukan kebangsaan. Tahniah sekali lagi kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, rakyat ketika ini dilihat dalam keresahan. Soal ekonomi sentiasa menjadi perbualan hangat bukan hanya pakar-pakar ekonomi, malah rakyat biasa sentiasa bercerita tentang ekonomi. Ia kerana rakyat sedang mengalami keperitan dalam kehidupan harian, bermula dengan keperluan barangan asas, kos bekerja, bayaran hutang dan sewa rumah. Ditambah baru-baru ini cukai harta meningkat tinggi, kawasan sayalah. Bayaran hutang kereta, kos persekolahan anak-anak lebih membebankan bila melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Dan paling terbaru kos kematian juga meningkat di mana kubur-kubur dan urusan kematian telah meningkat ketika ini. Jika dahulu orang Johor tak kan bekerja di Singapura, mereka hanya lihat bagaimana susahnya pendatang asing bekerja di tempat mereka. Namun pada hari ini, ramai orang Johor menjadi pendatang asing di Singapura mencari pendapatan yang lebih bagi menampung sara hidup harian mereka. Apakah ekonomi akan pulih dan bila masanya ia akan pulih? Pada pandangan saya, kita hampir tak kan mungkin menikmati kemewahan dan kemakmuran yang pernah wujud seperti zaman pemerintahan Barisan Nasional suatu ketika dulu. Jika bernasib baik dengan keadaan politik yang stabil dan kerajaan mempunyai pemimpin-pemimpin yang bijaksana barulah rakyat dapat mengecapi semua, tetapi ia mungkin mengambil masa yang agak lama kemungkinan lima tahun, sepuluh tahun atau dua puluh tahun yang akan datang. Justeru, semua pihak sama ada pemimpin-pemimpin parti di blok kerajaan, pihak pengimbang, termasuk dari blok pembangkang, kakitangan kerajaan dan juga rakyat jelata wajib berganding bahu membangunkan ekonomi negara.

Kefahaman kerjasama ini perlu diterapkan kepada setiap individu masyarakat supaya tiada usaha untuk merosakkan kestabilan negara yang hingga boleh membawa kepada niat menumbangkan kerajaan yang sedia ada. Permas bersetuju sangat permintaan Kukup, supaya blok pengimbang agar menyokong dengan mengangkat tangan setiap kali rundingan yang, setiap kali bagi menunjukkan solidariti dan keikhlasan kerjasama yang telah dijanjikan. Lebih-lebih lagi, banyak permintaan blok pengimbang ditunaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Dan Permas merasakan hanya baru sekali permintaan oleh Yang Berhormat

Kukup bagi pihak rakan-rakan di blok Barisan Nasional. Dan Barisan Nasional telah menunjukkan keikhlasan bersama-sama dengan Pakatan Harapan. Kalau kita lihat, Pilihan Raya Kecil yang lepas sama ada di Pulai mahupun di Simpang Jeram, kita telah menunjukkan betapa ikhlasnya jentera-jentera Barisan Nasional ketika itu. (Dewan bertepuk). Pulai tiada kat sini, tetapi Simpang Jeram ada di sini. Beliaulah antara saksi yang melihat bagaimana parti Barisan Nasional ini betul-betul memberi menunjukkan keikhlasan ketika itu untuk memenangkan Simpang Jeram. Kalau diizinkan oleh pihak Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, inginlah saya bertanya dengan Simpang Jeram atau memberi sedikit komen, adakah perkara itu benar-benar berlaku ketika pilihan raya yang lepas? Saya minta sedikit sahaja komen ataupun setuju ataupun tidak, kalau boleh diizinkan. Minta Simpang Jeram…

Timbalan Speaker

Tidak diizinkan. (Dewan bertepuk). Tak perlu jawapan.

Terima kasih Pengerusi.

Timbalan Speaker

Teruskan Permas. Perbahasan tiada pertanyaan.

Simpang Jeram mengakui.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ini bukan nak meriuhkan suasana atau memanaskan suasana. Saya hanya nak bertanya sahaja dan saya lihat Simpang Jeram pun bersetuju untuk memberi jawapan ataupun komen tapi kalau Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker tak benarkan, itu kuasa Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker lah. Tapi terima kasih kepada Simpang Jeram kerana cuba menjawab. (Dewan bertepuk). Kan dah hilang. Justeru semua pihak mesti bekerjasama.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Permas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas pembentangan belanjawan yang menyeluruh dengan mengunjurkan perbelanjaan pada tahun 2024 sebanyak RM1.799 bilion. Dan belanja mengurus sebanyak RM1.163 bilion. Unjuran ini bukan satu perkara yang mudah untuk membangunkan negeri Johor tanpa sokongan yang kuat dari kerajaan pusat. Jika kita lihat ada empat negeri yang diperintah oleh kerajaan pembangkang, ia memberi banyak hikmah yang lebih banyak di mana perbelanjaan akan ditumpukan kepada negeri-negeri yang menyokong kerajaan perpaduan termasuk negeri Johor.

Permas yakin kerajaan pusat akan memberi kerjasama penuh kepada negeri Johor di mana Barisan Nasional memperolehi mandat lebih dari 2/3 oleh rakyat bangsa Johor. Yang Amat Berhormat Menteri Besar mintalah sebanyak mungkin, nescaya ia akan mendapat pertimbangan dan sewajarnya oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Masih banyak peluang yang belum diterokai misalnya industri pelancongan. Johor mempunyai beberapa pintu masuk yang merangkumi luar negara seperti Singapura dan juga Indonesia termasuklah Batam. Ramai yang orang pergi Batam ni Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Tahun 2026 Johor mensasarkan 12 juta pelancong mengunjungi negeri Johor, ia adalah satu jumlah yang agak ramai. Bermakna purata sehari seramai 33,000 pelancong mengunjungi negeri Johor.

Oleh yang demikian, Johor perlu mengambil usaha menaik taraf setiap destinasi pelancongan supaya akan memberi kepuasan kepada pelancong dan mereka berhasrat akan kembali ke Johor untuk melancong semula. Johor kaya dengan keindahan alam semula jadi yang boleh dihidangkan kepada pelancong luar negara. Johor mempunyai pelabuhan yang strategik, yang mampu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dari negara jiran. Ia boleh merancakkan lagi urusan perdagangan antarabangsa. Ambil contoh di

Guangzhou. Jauh saya ambil contoh di negeri China, di negara China yang menjadikan kawasan perindustriannya sebagai pusat pelancongan. Bukan sahaja untuk membeli barang-barang keperluan, malah ia menjadi tempat mencari peluang-peluang perniagaan yang boleh dibawa pulang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat juga menyentuh soal sumber pendapatan baharu. Menarik pelabur-pelabur adalah antara agenda utama setiap negeri mahu pun negara. Kerajaan perlu menjadikan kemudahan asas terbaik, menjadikan Johor pilihan pertama. Antara yang penting selain hotel, pembangunan perumahan perlu diperhebatkan, seiring dengan kemajuan ekonomi Johor. Ia boleh dijadikan rumah-rumah persinggahan. Ia juga secara tidak langsung tawaran yang banyak akan dapat mengawal nilai harta tidak naik mendadak menyebabkan cukainya turut naik mendadak. Ia juga akan membuka ruang kepada pemaju hartanah membina lebih banyak rumah-rumah mampu milik. Selain itu Johor mempunyai tanah yang subur. Sediakanlah pusat R&D khas untuk tujuan keterjaminan makanan dari teknologi-teknologi baharu bagi mengatasi masalah pekerja. Buat kajian dari segi benih, baja, makanan haiwan, kaedah-kaedah baharu serta guna tanah yang sedikit tetapi menghasilkan tanaman yang lebih banyak mendapatkan hasil dan lebih cepat dan lebih murah harganya. Tanaman dan juga ternakan yang semakin tidak mencukupi bukan hanya Malaysia tetapi ia menjadi masalah dunia memberi peluang kepada Johor memperbanyakkan lagi industri ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, polisi ESG, Environment Social Governance dengan izin yang bermaksud setiap perancangan dan pelaburan mesti mengambil kira soal alam sekitar, masyarakat dan juga tadbir urus. Polisi ini adalah polisi global yang perlu dipatuhi, yang mengambil kira antaranya apakah manfaat yang boleh didapati oleh rakyat. Setiap pembangunan ekonomi hendaklah mengambil kira soal keperluan masyarakat sama ada dari segi keselesaan, limpahan dan juga peluang-peluang pekerjaan.

Yang Amat Menteri Besar Johor dalam pembentangan Belanjawan Johor mengandungi enam teras termasuklah tentang kemudahan dan keperluan asas. Terima kasih kerana menitik beratkan keperluan yang diharapkan oleh rakyat. Peruntukan yang besar telah disediakan dalam teras yang keempat. Ia menunjukkan Yang Amat Berhormat tidak lupa memikirkan kemahuan dan kehendak rakyat Johor. Kualiti hidup antara tuntutan rakyat mereka mahukan sepanjang perjalanan hidup berada dalam keadaan yang selesa dan menggembirakan, merasai kemakmuran untuk diri mereka dan juga keluarga mereka. Setelah bekerja keras setiap hari, mereka perlukan ruang untuk menikmati masa rehat mereka dengan aktiviti-aktiviti yang menggembirakan.

Justeru setiap perancangan pembangunan mesti mengambil kira apakah keperluan yang perlu disediakan kepada rakyat supaya mereka merasai pembangunan yang dijalankan bukan hanya dari segi ekonomi, tetapi kemudahan-kemudahan untuk beriadah bersama keluarga mereka. Permas ingin memberi pandangan, setiap pembangunan perumahan dan komersil kawasan-kawasan lapang dan taman permainan perlu disatukan supaya rizab kawasan ini keluasan ini cukup besar untuk dijadikan pusat komuniti yang lengkap dengan dewan kemudahan pusat penjaja, tempat permainan kanak-kanak, tempat berjoging, tempat berbasikal dan tempat beriadah. Pusat komuniti ini secara tidak langsung dapat mengumpulkan masyarakat setempat dan mengeratkan hubungan antara mereka. Jika dilihat kadang kala masyarakat dalam satu komuniti tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Aktiviti setiap mereka pergi kerja petang dan balik kerja tutup pintu. Kebiasaannya berlaku di taman-taman. Tiada ruang untuk mereka bertanya khabar. Pusat komuniti yang lengkap Permas berpendapat ia dapat membantu masyarakat setempat menangani masalah ini. Setiap taman dan pusat komersial perlu disediakan lorong-lorong pejalan kaki dan berbasikal. Ia juga sebagai persediaan bagi kegunaan basikal-basikal elektrik yang semakin popular untuk mereka gunakan ke kedai-kedai dan ke pasar raya dan juga memudahkan bagi kegunaan pelajar-pelajar sekolah, pelajar-pelajar pengajian tinggi ke

sekolah dan ke kampus. Laluan janganlah disediakan di jalan-jalan raya. Kalau kita lihat ketika ini, laluan basikal diletakkan di jalan raya, bersebelahan dengan jalan kereta dan sebagainya, seperti mana yang kita lihat ketika ini kerana ia amat membahayakan pengguna. Laluan ini perlu disediakan di bahu-bahu jalan yang bersambung dari taman ke taman dan dari kedai ke kedai. Konsep ini banyak dilaksanakan di luar negara seperti London, seperti Australia, seperti Amsterdam yang boleh kita contohi. Saya fikir Yang Berhormat Datuk Speaker pergilah sana, buat lawatan seminggu, dan kalau dapat peruntukan itu jangan lupa kami di sini, bawalah sekali untuk kita lihat bagaimana infra untuk pejalan kaki dan juga berbasikal di tempat mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kesesakan lalu lintas antara isu yang menjadi keresahan kepada rakyat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Machap telah berusaha keras mencari peruntukan-peruntukan dan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya. Hubungan baik kerajaan Johor dan kerajaan pusat, Yang Berhormat Menteri Besar berjaya mendapatkan persetujuan menjadikan Lebuhraya Utara – Selatan kepada enam lorong dari Sedenak dan juga Simpang Renggam, manakala Lebuh Raya Pasir Gudang dalam keadaan pelebaran sedang dijalankan dan kerja-kerja naik taraf pada kali ini sangat cermat kerana kurang memberi gangguan kepada pengguna Lebuh Raya Pasir Gudang. Tiada dengar komplen dari mereka-mereka pengguna jalan raya dan juga tiada dengar pujian dari mereka kepada kita semua. Namun banyak lagi kawasan-kawasan yang masih mengalami kesesakan lalu lintas.

Permas mohon kajian menyeluruh dilakukan dan buatlah perancangan jangka panjang dan mohonlah peruntukan kerajaan pusat dengan segera. Janganlah bila telah mengalami kesesakan yang teruk, baru kita bertindak untuk menyelesaikannya seperti yang berlaku ketika ini. Seboleh-bolehnya kawasan-kawasan yang dilihat mula berlaku kesesakan, maka pada ketika itu kerajaan telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf dan jalan-jalan tersebut. Maka rakyat tidak akan lagi menempuh suasana yang amat menyusahkan bila mereka keluar menuju ke destinasi masing-masing.

Belanjawan pada kali ini juga memfokuskan kepada pusat kesihatan. Sudah sepatutnya perkara ini sentiasa dilihat supaya pusat-pusat kesihatan dan hospital sentiasa mencukupi. Rakyat semakin ramai, sudah pasti pesakit akan bertambah. Maka pusat kesihatan dan hospital perlu ditambah ataupun diperbesarkan. Alhamdulillah yang tepuk tadi, alhamdulillah Hospital Pasir Gudang sedang dalam pembangunan dan dalam dan dapat menempatkan sebanyak 300 lebih katil. Terima kasihlah tepuk lagi. Masih lagi ramai pesakit yang tidak dapat perkhidmatan yang sempurna di hospital kerajaan sama ada di HSA atau pun HSI dan juga hospital di Kota Tinggi. Saya masukkan Kota Tinggi sekali lagi. Kemungkinan ia berlaku di hospital-hospital di daerah lain hingga ada pesakit-pesakit di wad kecemasan terpaksa duduk berjam-jam menunggu kekosongan katil, kesian. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tengok lentok saja dia dekat situ.

Timbalan Speaker

Ya, Yang Berhormat, masa.

Ada juga pesakit yang masih belum sembuh dengan sempurna terpaksa diminta pulang ke rumah bagi menempatkan pesakit-pesakit baharu. Oleh itu, mohon supaya kerajaan ambil perhatian yang serius. Saya ingat saya dah buat pendek. Jadi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya pun tidak perlukan memanjangkan lagilah perbahasan saya ini kerana masa itu sangat mencemburui.

Jadi, akhir sekali Permas sekali lagi mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang membentangkan Belanjawan yang baik untuk dinikmati oleh rakyat bangsa Johor dan Permas memohon menyokong. Sekian wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Permas. Jemput Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Salam sejahtera, salam perpaduan. Terima kasih Datuk Timbalan Speaker bagi memberi peluang kepada Johor Jaya untuk berucap dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Patik juga merafak sembah dengan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang berjaya membentangkan Belanjawan 2024 surplus yang bertema ‘Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat’ yang merangkumi enam teras. Dalam teras kedua iaitu pembangunan ekonomi, Yang Amat Berhormat telah membentangkan RM1 juta untuk membantu memperdayakan wanita dan golongan sasar dengan melatih dan membantu 1,000 ibu tunggal, B40 dan OKU memulakan perniagaan. Selain itu, dalam teras ketiga iaitu jaringan keselamatan sosial, Yang Amat Berhormat juga membentangkan RM300,000 diperuntukkan bagi memperdaya dan kemandirian orang kurang upaya dan warga emas melalui tiga program utama iaitu pertama, Employer Job Coaching Assistant Skill Training, kedua Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia dan ketiga Disable Skill And Career Course. Kesemua inisiatif ini telah menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan sasar iaitu ibu tunggal, warga emas, OKU dan golongan B40 supaya dapat menjalankan business, mencari kerja atau membangunkan OKU demi menjana pendapatan. Ketiga-ketiga program dan inisiatif ini memang baik tetapi usaha ini bukan program baharu. Program ini memang ada di bawah JKM dan juga YPKDT selama ini. Selain JKM dan YPKDT mungkin jabatan lain ada pun usaha untuk membantu golongan sasar ini. Sebagai contoh, di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, ada juga program PPKI iaitu Program Pendidikan Khas Integrasi yang sedang dijalankan. Kelas ini disediakan di sekolah biasa bagi golongan kanak-kanak keperluan khas termasuk masalah penglihatan, pendengaran serta yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan pintar cerdas. Objektif PPKI ini adalah untuk menyediakan peluang dan kemudahan Pendidikan khas untuk golongan OKU dan juga untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka.

Baru-baru ini, saya telah pun melawat dan memberi sumbangan peralatan bakeri ke atas kelas PPKI di dalam kawasan Johor Jaya. Apabila saya berbual-bual dengan cikgu, pihak sekolah maklum kepada saya selepas kelas PPKI ini tamat, selepas pelajar ini mereka biasanya tidak dapat pekerjaan. Kebanyakan pelajar OKU ini hanya duduk di rumah. Ini cerita kisah seorang bapa tunggal yang benar-benar berlaku di kawasan saya. Bapa tunggal ini berumur 80 tahun dan dia datang ke pejabat saya minta bantuan kerana dia kata, dia tidak dapat menjaga lagi anak OKU dia. Dia minta supaya sama ada boleh carikan mana-mana tempat yang boleh jaga anaknya sebab dia bimbang semasa dia meninggal satu hari siapa yang boleh jaga anak dia.

Ini bukan sahaja satu cerita Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di mana kes seperti ini memang berlaku dalam masyarakat. Apabila mereka lepas pembelajaran, majoriti mereka akan kembali dan duduk di rumah sahaja. Kenapa? Sebab persepsi ibu bapa, persepsi anak dan persepsi masyarakat kita. Mereka anggap bukannya senang bagi masyarakat untuk menerima anak mereka sebagai pekerja dan tidak dapat banyak peluang pekerjaan bagi mereka. Dengan ini nampak tak, bukannya kerajaan atau jabatan kurang inisiatif tetapi apa kecekapan, efektif bagi program-program tersebut. Johor Jaya ingin bertanya berapakah golongan OKU yang sedang dijalankan job coach di bawah JKM? Berapakah bilangan OKU yang sudah dapat kerja selepas mereka tamat job coach sebelum ini? Berapakah agensi atau pihak swasta yang berdaftar atau bekerjasama dengan JKM

untuk sudi menerima mengambil golongan OKU ini untuk menjadi pekerja mereka dan berapakah bilangan OKU yang sedang bekerja dengan Kerajaan Negeri Johor? Berapa peratusan pekerja OKU antara kakitangan awam? Ia adalah sangat menyediakan sekiranya pihak Kerajaan Negeri Johor pun tidak memberi peluang yang banyak kepada mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, izinkan saya kongsi pengalaman saya melawat satu tempat enabling village yang berada di Singapura semasa saya memegang portfolio ini. Enabling Village ini merupakan satu pusat OKU yang ditubuhkan oleh kerajaan Singapura dengan kerjasama sektor swasta. Ia adalah satu tempat yang inklusif dan mewujudkan satu ekosistem bagi golongan OKU. Selain membolehkan sektor swasta menubuhkan pejabat dalam tempat tersebut, mereka turut mencungkil kreativiti OKU dan menjadikan ini satu tempat pusat autism, art centre, tempat f&b, pasar raya kecil, pusat taska dan tadika dan child care, bilik gym dan sebagainya dalam satu tempat ini. Segala fasiliti dalam pusat ini turut sesuai bagi mereka yang ada masalah penglihatan atau kekurangan fizikal. Yang paling penting, semua penjualan dan hasil turut menjadi pendapatan bagi golongan sasar dan membolehkan mereka berdikari dan menjamin peluang pekerjaan bagi mereka. Dengan ini, adalah mustahak bagi Kerajaan Negeri Johor mengkaji pelan induk atau hala tuju OKU serta menggalakkan komuniti yang inklusif dan membina satu ekosistem yang dapat merangkumi semua sektor, sektor awam, sektor swasta atau badan bukan kerajaan.

Johor Jaya ingin bercadang, pihak kerajaan negeri harus mengambil contoh negara jiran kita dan mewujudkan satu pusat khas OKU negeri Johor termasuk pertama job training seperti F&B, art dan fesyen dan lain-lain. Kedua, job pusat job matching. Ketiga, pusat majikan dan pekerja iaitu dengan izin employability and employment centre yang membolehkan pihak swasta yang menubuhkan pejabat di sana memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU. Keempat, kafe, kedai pastri dan restoran dalam pusat ini dan terus membolehkan golongan ini terus bekerja di sana. Dan kelima, tempat jualan souvenier yang turut menjadi salah satu tempat pelancongan bagi pelancong supaya memberi sokongan atas hasil buatan atau design yang dihasilkan oleh mereka. Saya bagi contoh yang paling famous terkenal di Singapura adalah isteri Presiden Singapura selalu membawa beg tangan yang dihasilkan oleh pelukis autisme sehingga menjadi berita dunia. Dan keenam, pusat aktiviti dengan seliaan fasiliti yang sesuai untuk kegunaan golongan OKU ini. Kerajaan Negeri Johor perlu memandang serius dan menjadikan pusat khas OKU negeri Johor sebagai satu projek perintis dan menggalakkan pihak lain turut berserta.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, DUN Johor Jaya telah terbabit dalam isu kenaikan cukai taksiran baru-baru ini di mana antara lima PBT yang mengenakan cukai taksiran kawasan DUN Johor Jaya dirangkumi iaitu MBJB dan juga MBPG. Johor Jaya faham atas keperluan kenaikan cukai taksiran namun Johor Jaya mengesyorkan agar mekanisme kenaikan cukai taksiran boleh diperhalusi agar kadar cukai yang dinaikkan boleh ditimbangkan semula seperti apa yang dibangkitkan oleh Ketua Pengimbang. Kadar cukai setiap hektar boleh dikurangkan lagi supaya pemilik tidak berasa beban apabila kenaikan penilaian harta dan tambahan kadar yang tinggi mengakibatkan kadar kenaikan cukai taksiran yang tinggi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kenaikan cukai taksiran ini adalah untuk menambah hasil PBT dan penambahan hasil ini mestilah membawa pembangunan tempatan. Memandangkan DUN Johor Jaya merupakan salah satu penyumbang hasil PBT yang besar, Johor Jaya memohon pembangunan tempatan di kawasan antaranya yang paling dinanti-nantikan oleh penduduk Johor Jaya adalah menaiktarafkan Pasar Awam Johor Jaya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam usaha menyambut Tahun Melawat Johor 2026, Kerajaan Negeri Johor perlu memastikan menarik pelancong domestik dan juga pelancong antarabangsa. Dengan kedudukan strategik negeri Johor dan statistik pelancong

antarabangsa, pelancong yang paling ramai mengunjungi ke Johor tetaplah pelancong dari Singapura. Ini turut selaras dengan usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah trafik di CIQ dan Tuas Second Link. Pelancong suka mencari makan, minum, beli barang harian, cuci kereta di Johor Bahru. Mereka selalu mengunjungi AEON Tebrau City di sana untuk membeli belah dan beli grocery. Dalam usaha menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 dan memacukan ekonomi tempatan, Kerajaan Negeri Johor harus memupuk lagi bisnes kecil supaya penduduk tempatan dapat untung dari usaha kerajaan.

Pasar Awam Johor Jaya yang terletak di Taman Johor Jaya semakin usang dan menghadapi pelbagai masalah fasiliti termasuk bumbung bocor dan masalah elektrik yang sudah banyak kali diperbaiki. Bangunan di sebelah Pasar Awam Johor Jaya termasuk Terminal Bas Johor Jaya. Terminal Bas Johor Jaya ini, bas dari KL ke KL ke Mersing akan lalu di sana. Dan Arked Johor Jaya di mana Pejabat MBJB pun terletak di sana termasuk juga Medan Selera Johor Jaya dan juga sebahagian bangunan ini dulu disewa kepada peniaga tetapi sudah lama terbengkalai. Kalau saya lihat tempat ini, secara keseluruhan tempat ini kelihatan terbiar dan ini boleh ditukar imej untuk menjadi sebagai satu hab bisnes tempatan. Ia penting bagi imej Johor Bahru dan peniaga tempatan.

Pasar Awam Johor Jaya harus ditukar imej kepada sebuah pasar awam yang moden dan juga bertaraf lima star. Kita bukan sahaja mahu tandas yang lima star tetapi pasar pasar awam moden yang lima star. Peniaga di pasar awam selalu mengadu bahawa bisnes di pasar tidak dapat bersaing dengan pasar raya besar sebab imej yang kotor, berbau busuk, basah mengakibatkan pengunjung semakin berkurang. Orang muda semua pergi ke pasar raya besar. Ini, selain itu tempat ini turut boleh dijadikan sebagai satu ruang bisnes kepada orang muda, ibu tunggal, kepada mereka yang berkreativiti. Ramai orang muda yang kekurangan platform untuk start up bisnes mereka. Dan tempat ini paling sesuai ditukar imej dan membolehkan mereka membuat bisnes dan dijadikan sebagai satu tempat pelancongan. Ini adalah tanggungjawab kerajaan tempatan untuk membantu tukar imej pasar awam dan menjadikan sebagai satu pasar awam moden, bersih, ada tempat makan, ada tempat duduk, ada medan selera dan juga berhawa dingin. Saya yakin ini pasti dapat meningkatkan imej pasar awam selama ini dan juga membantu bersaing dengan pasar raya besar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru supaya rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat termasuk makan dengan seimbang, tidak merokok, belajar menangani stres dan juga melakukan aktiviti fizikal. Rakyat jelata pun semakin mengambil berat terhadap isu kesihatan terutamanya selepas COVID-19. Dengan ini, taman permainan jadilah pilihan utama bagi penduduk yang suka pergi berjoging atau membawa anak-anak mereka bermain di laman atau di taman permainan yang dekat dengan rumah. Namun, Johor Jaya perhatikan peralatan permainan, peralatan senaman atau larian trek atau fasiliti lain di taman permainan ini dalam keadaan kurang memuaskan atau kurang selesa. Sama ada besi peralatan berkarat, wayar tertanggal, bahan plastik atau gentian kaca yang digunakan sudah pecah, permaidani getah iaitu rubber floor mate yang dihampar juga rosak atau tercabut, sampah sarap yang tidak diangkut sehingga berbau busuk, kelihatan gelap kerana lampu tidak menyala pada waktu malam. Dan juga rumput tidak dipotong mengikut jadual dan sebagainya.

Kemudahan awam yang daif dan kurang memuaskan ini akan mengancam keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak yang suka lari ke sana sini akan jatuh apabila rubber floor mate ini tercabut dan lantai menjadi tidak merata. Baik pulih pada masa yang tetap adalah penting. Ini telah defeat purpose nya iaitu berfungsi sebagai penyerap hentakan. PBT harus sentiasa memastikan keadaan peralatan dan kawasan tersebut dalam keadaan bersih, selesa dan selamat digunakan. Sebagai contoh, terdapat satu taman permainan di kawasan Johor Jaya, Jalan Teratai 49, papan baik pulih

telah diletak sejak tahun 2021. Katanya kerja selenggara akan dijalankan dalam tempoh satu tahun iaitu dari tahun 2021 hingga tahun 2022. Sehingga kini, kerja masih belum dilaksanakan. Dengan ini, Johor Jaya bercadang supaya pertama, kaji semula keselamatan peralatan permainan dan menjalankan penyelenggaraan pada masa yang tepat. Kedua, menambah baik reka bentuk dan cat supaya lebih menarik. Ketiga, menambahkan alat senaman kepada kegunaan warga emas memandangkan negara kita akan menjadi negara menua pada tahun 2030.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selama 10 tahun Johor Jaya bahas dalam Dewan yang mulia ini, dari blok pembangkang ke blok kerajaan dan kemudian ke blok pembangkang dan sekarang berada di blok pengimbang. Saya yakin semua Wakil Rakyat, Ahli-Ahli Yang Berhormat memang ikhlas dalam perkhidmatan masing-masing sebab kita diberi tanggungjawab besar dan mandat daripada pengundi. Seperti apa yang disebut oleh ketua pengimbang, kami menghadiri mesyuarat JKTD dengan membawa isu kawasan supaya isu-isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Kami berbincang dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Barisan EXCO dengan hati yang terbuka penuh keikhlasan. Dengan itu, mana-mana pihak jangan mempertikaikan hati kami sebagai rakan strategik dengan sangkaan buruk, jangan menyebarkan virus memecahkan perpaduan dalam Dewan yang mulia ini atas titah Tuanku.

Izinkan saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Kalau ada jarum yang patah jangan simpan dalam peti, kalau prasangka resah gelisah, murnikan jiwa bersihkan hati. Akhir kata, sama-sama kita berganding bahu memastikan Belanjawan 2024 dan segala usaha Kerajaan Negeri Johor dapat direalisasikan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat, kemajuan negeri Johor dan perpaduan negara. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Johor Jaya. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok 28 November 2023 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.