Johor · 28 November 2023

2nd session, 4th meeting · 124 turns · 34,426 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sedikit perkongsian ilmu mengenai Parlimen United Kingdom. Mereka bersidang di bilik yang kecil dan dihiasi secara sederhana dengan tema hijau dan upper house tema merah. Ahli kerajaan duduk di sebelah kanan, sementara ahli pengimbang duduk di bangku sebelah kiri. Di hadapan setiap set bangku, satu garisan merah telah dilukiskan pada permaidani dan para ahli secara tradisional tidak dibenarkan melintasi garisan itu sewaktu perdebatan. Ini untuk mengelakkan pergaduhan dan bertumbuk antara satu dengan lain.

Tidak semua Ahli Parlimen boleh dimuatkan dalam bilik persidangan kerana ia hanya menyediakan 420 tempat duduk berbanding 646 Ahli Parlimen United Kingdom. Ahli Parlimen yang datang lewat harus berdiri berhampiran tempat masuk dewan jika mereka ingin mengikuti perbahasan. Walaupun dewan perbahasan kecil dan sempit, tetapi tradisi perbahasan amat berkualiti dan diutamakan. Justeru, Dewan Negeri Johor yang cantik dan lengkap dengan berbagai kemudahan seperti monitor, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memelihara perbahasan yang berkualiti. Terima kasih.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Sedili nombor 1.

Permintaan ke atas permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam DUN Sedili adalah sangat tinggi. Apakah Kerajaan Negeri masih ada perancangan bagi penambahan lot baru Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ini, mohon agar ditambah dan kelulusan sebaiknya.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam Maju Johor.

Soalan YB Sedili berbunyi permintaan ke atas perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dalam DUN Sedili adalah sangat tinggi. Apakah kerajaan negeri masih ada perancangan bagi penambahan lot baru Program PPRT ini, mohon agar ditambah dan kelulusan sebaiknya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Program Perumahan Rakyat Termiskin atau dipanggil PPRT adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Sepertimana juga Rumah Mesra Rakyat atau dipanggil SPNB tertakluk di bawah

bidang kuasa Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan. Hal ini bermakna jumlah peruntukan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Menyedari bahawa keperluan perumahan sedemikian sangat diperlukan oleh rakyat Johor, maka Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor telah memperkenalkan satu program dipanggil Rumah Kasih Johor. Objektif Rumah Kasih Johor ini adalah membina rumah kepada golongan dalam senarai e-Kasih atau golongan miskin dan miskin tegar yang mempunyai pemilikan tanah. Kos pembangunan rumah adalah ditanggung keseluruhannya oleh pihak Kerajaan Negeri Johor.

Program ini yang telah dimulakan pada tahun 2023 telah memberi manfaat kepada seramai 50 peserta, di mana setiap satu daerah dalam negeri Johor diperuntukkan 5 buah. Jadi keseluruhan Johor ini ada 10 daerah, dengan jumlahnya 50 buah.

Justeru itu, program Rumah Kasih Johor ini yang akan diteruskan pada tahun 2024 dengan tambahan peserta di setiap daerah seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, seramai 1,200 orang keluarga miskin golongan miskin akan diperuntukkan Rumah Kasih Bangsa Johor ini. Saringan peserta Rumah Kasih Johor ini adalah di bawah penyelarasan Pejabat Daerah. Namun begitu, pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan cadangan nama daripada peserta yang layak oleh Wakil-Wakil Rakyat kepada Pejabat Daerah untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri Johor.

Untuk makluman tambahan, tahun lepas kita memperuntukkan lebih 50 unit rumah dengan nilai kos RM6.5 juta dan insya-Allah untuk tahun 2024, peruntukan sebanyak RM17 juta untuk membina 120 unit rumah untuk keluarga miskin dalam negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum itu Dewan ini mengalu-alukan kehadiran para pemerhati ke persidangan pada hari ini iaitu 3 orang daripada Pejabat ADUN Sungai Balang. Ada? 9 orang daripada Pejabat ADUN Johor Lama, kalau ada bangun ya. 44 orang daripada Pejabat ADUN Bukit Pasir, 3 orang daripada Pejabat ADUN Tenang, 2 orang daripada Pejabat ADUN Gambir, 3 orang daripada Pejabat ADUN Tanjung Surat dan 2 orang daripada Pejabat ADUN Kota Iskandar. Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Soalan tambahan...

Speaker

Ooo nak tanya soalan tambahan. Silakan.

Ya. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB Sedili kerana membangkitkan perkara ini dan terima kasih kepada jawapan daripada Dato’ EXCO tentang Program Perumahan Rakyat Termiskin. Saya pun kami di Dewan Negeri ini dimaklumkan tadi sebentar tadi oleh YB Dato’ EXCO tentang Program Perumahan Rakyat Termiskin ini di bawah KKDW. Perkara ini sebenarnya di luar pengetahuan kita. Contohnya Yang Berhormat Datuk Speaker, di daerah Batu Pahat saya ingat satu-satunya Program Perumahan Rakyat Termiskin berada di Sri Medan. Saya ingat lebih daripada 30 tahun.

Saya pun telah membangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah sebelum ini tentang siapa yang akan menguruskan kalau ada kerosakan, siapa nak membaiki? Jadi, saya meminta pandangan daripada Yang Berhormat Dato’ EXCO berkenaan program-program untuk membaik pulih kerana Perumahan Rakyat Termiskin ini, dia telah melebihi tempoh yang terlalu lama, lebih 30 tahun kerosakan banyak. Adakah pihak Kerajaan Negeri akan membantu untuk kerja-kerja membaik pulih bagi kita membantu mereka yang tinggal di dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB. Sebenarnya seperti yang saya maklumkan kita ada 3 kategori kat sini :

1. PPRT–PPRT ini dipanggil Program Perumahan Rakyat Termiskin ini bawah dulu dipanggil KKDW atau Kemajuan Desa dan Wilayah yang terbaru ini.

2. Satu rumah RMR atau Rumah Mesra Rakyat. Dia di bawah SPNB.

Dua ini adalah diselaraskan di peringkat persekutuan atau contoh SPNB ini, dia pemohon dia mesti melalui online SPNB. Dan penilaian dan keputusan dibuat oleh peringkat SPNB atau di peringkat persekutuan. Sebab itu di peringkat Kerajaan Negeri Johor seperti yang disarankan sebelum ini kepada oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kita membuat satu kaedah yang sama dipanggil Rumah Kasih Johor. Rumah Kasih Johor ini adalah rumah kasih yang dipengerusikan di peringkat Pejabat Daerah, daerah-daerah untuk menapis mereka-mereka yang layak.

Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun lepas kita telah umumkan 50 unit dan insya-Allah Q1 2024 akan siap sebanyak 50 unit. Dan tahun 2024 allocation baru dengan izin, ada lagi 120 unit dan ditambah kepada 10 daerah, maksudnya setiap daerah akan dapat 10 unit dan peringkat YB boleh cadangkan.

Menjawab soalan Sri Medan tadi, kita sedia maklum bahawa di peringkat Kerajaan Negeri Johor, kita di peringkat Perbadanan Kemajuan Negeri Perbadanan Kemajuan Johor, kita jika ada isu-isu seperti perumahan-perumahan yang perlukan bantuan atau tanah daripada PKPJ, insya-Allah Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Sungai Balang nombor 2. Terima kasih.

Apakah perkembangan terkini program jalur lebar untuk masjid dan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dan berapakah jumlah masjid dan SAKJ yang telah menerima manfaat daripada program tersebut setakat ini?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Yang Berhotmat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sungai Balang bertanya berkenaan perkembangan terkini program jalur lebar untuk masjid dan sekolah di Negeri Johor dan berapakah jumlah masjid dan Sekolah Agama Kerajaan Johor yang telah menerima manfaat.

Kerajaan mensasarkan sebanyak 583 buah sekolah yang akan menerima manfaat pemasangan internet, Wi-fi yang akan dipasang secara berfasa. Semalam saya dah sebut Yang Berhormat Datuk Speaker, sekolah agama akan dipasang Wi-fi untuk dilaksanakan Program Pendidikan Digital Negeri Johor.

Sasaran bagi tahun 2023 adalah sebanyak 140 buah yang terpilih akan menerima Wi-fi dengan kos melebihi RM400,000.00 ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Sasaran ini terbahagi kepada 2 fasa iaitu fasa pertama 20 buah sekolah dan fasa kedua 120 buah sekolah terpilih.

Sehingga November 2023, sebanyak 20 buah sekolah fasa satu telah pun selesai pemasangan yang digunakan sepenuhnya. 20 buah fasa yang pertama ini Yang Berhormat Datuk Speaker ialah fasa pemantauan bagi 20 sekolah yang pertama.

Bagi fasa kedua tahun ini, sebanyak 72 buah sekolah selesai dipasang perkakasan Wi-fi di sekolah yang terpilih. Bakinya sedang dalam pelaksanaan pemasangan dan dijangka dapat selesai ke semua 120 buah sekolah fasa dua pada Disember 2023 ini.

Bagi DUN Sungai Balang, sebanyak 3 buah sekolah agama yang menerima manfaat Wi-fi dan Smart TV daripada Perbadanan Islam Johor bagi melengkapi pembelajaran dan pengajaran secara atas talian. Sekolah tersebut ialah Sekolah Agama Parit Jamil, Sekolah Agama Sungai Balang Darat dan Sekolah Agama Sungai Resik.

Insya-Allah pada tahun hadapan 2024, inisiatif ini akan diteruskan bagi memastikan 583 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor Ke Arah Pembelajaran Abad Ke-21. Pendigitalan masjid dan surau negeri Johor melalui inisiatif kemudahan Wi-fi masjid dan surau negeri Johor kini berada pada landasan yang terbaik dan akan diteruskan untuk tahun 2024. Untuk rekod, setakat 16 November 2023, sebanyak 21 buah masjid dan surau telah menerima kemudahan Wi-fi di seluruh negeri Johor. Sekali gus jumlah ini menunjukkan kemajuan KPI tahun 2023 telah mencapai 94% bagi suku tahun keempat yang menelan belanja sebanyak RM470,404.80. Antara daerah yang telah siap pemasangannya adalah Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing. Bagi DUN Sungai Balang, sebanyak 4 buah masjid yang menerima manfaat pemasangan Wi-fi ini iaitu di Masjid Ubudiah Parit Limbong, Masjid At-Taqwa Parit Pecah, Masjid Jamek At-Taqwa dan Masjid Al-Ihsan Parit Jawa.

Pada masa yang sama, pendigitalan masjid dan surau negeri Johor telah memperkasakan fungsi masjid dan surau sebagai pusat rujukan umat Islam sejagat. Dengan itu kemudahan Wi-fi di masjid dan surau yang dirancang pada tahun hadapan dengan anggaran kos RM878,609.60 bakal memberi manfaat kepada 320 buah masjid dan surau melalui pelbagai jenis penggunaan Wi-fi seperti urusan pentadbiran masjid dan surau, aktiviti pengimarahan, kewangan, pendidikan dan pembelajaran, sumbangan dan sukarelawan dan lain-lain termasuk penggunaan keselamatan dan info setempat. Dan untuk makluman Dewan yang mulia, Wi-fi yang telah dipasang di masjid dan surau Yang Berhormat Datuk Speaker, telah pun digunakan secara live bagi Program Solidariti Bangsa Johor untuk Palestin tempoh hari yang sehingga sekarang menunjukkan viewers nya seramai 46,000 orang. Yang ini juga semasa hari berlangsung di Masjid Sultan Iskandar tempoh hari, dipasang juga di masjid dan surau yang telah pun mempunyai kemudahan. Ini adalah bagi maksud mendigitalkan masjid surau kita. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Sungai Balang

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih YB EXCO Semerah di atas penjelasan. Cuma soalan tambahan saya adakah kerajaan negeri berhasrat untuk menguar-uarkan memperluaskan penerima jalur lebar ini di Sekolah Agama Kerajaan Johor, masjid, surau dan apakah penyelesaian pihak kerajaan negeri bagi sekolah dan masjid di kawasan liputan jalur lebar yang sedia ada? Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang atas soalan tambahan. Untuk makluman Dewan yang mulia, melalui inisiatif pemodenan pengimarahan masjid dan surau di bawah Teras Keenam Orang Muda Johor strategi pemerkasaan pendidikan syiar Islam telah mensasarkan pemasangan kemudahan Wi-fi di 800 buah masjid dan surau negeri Johor bagi tempoh 5 tahun bermula tahun ini. Inisiatif ini telah mendorong perluasan kemudahan jalur lebar bukan sahaja di masjid dan surau setiap daerah, malahan secara tidak langsung inisiatif ini telah memberi impak perluasan kemudahan jalur lebar di beberapa tempat meliputi rumah kediaman, kawasan taman, komuniti dan sebagainya. Melalui kajian keberkesanan pemasangan Wi-fi masjid surau negeri Johor pada tahun ini, sebanyak 96.1 responden mencadangkan agar kemudahan ini diteruskan kerana memberi manfaat kepada orang muda, membantu

pertambahan jemaah hadir ke masjid dan surau serta memberi impak kepada pengimarahan masjid dan surau, biar pun mengakui cabaran utama mengendalikan kemudahan ini adalah bebanan mengawal penggunaan Wi-fi di masjid dan surau itu sendiri. Insya-Allah pada tahun hadapan tambahan sebanyak 160 buah masjid dan surau akan dilengkapi dengan jaringan Wi-fi ini dan menjadikan sebanyak 320 buah masjid dan surau daripada 2,776 masjid dan surau negeri Johor akan dilengkapi dengan kemudahan internet.

Bagi Sekolah Agama Kerajaan Johor pula, Yang Berhormat Datuk Speaker, tambahan sebanyak 200 buah sekolah akan dilengkapi dengan jaringan Wi-fi dan menjadikan keseluruhannya 340 buah sekolah agama daripada 583 buah sekolah akan dilengkapi jaringan internet pada tahun hadapan. Bagi isu penyelesaian sekolah, masjid dan surau yang berada di luar liputan jalur lebar, setakat ini alternatif yang digunakan adalah dengan mendapatkan cadangan syarikat TELCO yang mempunyai kemudahan infra. Sekiranya setengah kawasan dicadangkan belum mempunyai liputan Telekom Malaysia (TM), pihak Jabatan akan mendahulukan sekolah, masjid dan surau yang mempunyai liputan terlebih dahulu. Pihak Jabatan juga bersedia dan berbincang untuk melantik mana-mana TELCO yang mampu memasang perkhidmatan Wi-fi sekiranya kawasan tersebut tidak mendapat liputan TM. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kemelah.

Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 3. Terima kasih.

Adakah pemantauan akan dilakukan secara berkala atau hanya selepas kerja-kerja turapan jalan siap dilakukan memandangkan terdapat sebahagian jalan yang diturap tidak rata serta (bahu jalan) terlalu tinggi hingga mendatangkan risiko kepada kenderaan ringan?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Kemelah yang bertanyakan berkenaan pemantauan kerja-kerja pembaikan jalan. Pihak saya sentiasa menerima aduan daripada orang awam terutamanya melalui media sosial yang turut mengadu tentang sama ada jalan yang rosak atau kerja-kerja pembaikan yang tidak sempurna.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, aduan ini terbahagi kepada 2 kategori. Yang pertama ialah aduan mengenai kerosakan jalan dan satu lagi kategori ialah aduan mengenai prestasi kontraktor dalam melakukan sesuatu kerja sama ada isu semasa kerja dijalankan atau pun hasil kerja mereka. Untuk aduan kerosakan, sebenarnya pihak konsesi yang diberi tanggungjawab untuk menyelenggara jalan-jalan negeri dan persekutuan mempunyai pasukan rondaan mereka sendiri. Rondaan yang dilakukan oleh pihak konsesi jalan negeri ialah sekali seminggu untuk jalan utama dan 2 kali seminggu untuk jalan protokol. Untuk jalan-jalan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, rondaan dibuat 2 kali seminggu, manakala untuk jalan persekutuan, pihak konsesi melakukan rondaan 2 kali seminggu.

Namun begitu disebabkan jalan-jalan yang perlu dipantau ini adalah panjang, ada kemungkinan besar sesuatu lokasi rosak itu tidak dipantau dalam tempoh yang lama ini menyebabkan kerosakan jalan itu tidak disedari. Selain pemantauan dibuat oleh pihak konsesi pihak JKR dan PBT juga ada melakukan rondaan dan juga pemantauan secara rawak dan berdasarkan aduan. Oleh itu, aduan daripada orang awam sangat-sangat dialu-alukan. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, media sosial juga menjadi salah satu saluran utama untuk orang awam membuat aduan, cuma di media sosial pihak kami memerlukan perincian seperti lokasi sebenar aduan tersebut. Untuk pemantauan terhadap kerja dan hasil kerja kontraktor pula, pihak konsesi, Jurutera Perunding, Jurutera JKR dan juga Penolong

Jurutera akan melakukan pemantauan. Sekiranya kontraktor tersebut dilantik oleh pihak konsesi, maka menjadi tanggungjawab pihak konsesi untuk memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan seperti tempoh kerja, persekitaran di tempat kerja dan juga hasil kerja.

Antara skop kerja Jurutera Perunding adalah untuk memberikan khidmat perundingan kerja-kerja reka bentuk struktur berdasarkan keperluan termasuk bagi kerja-kerja kecemasan. Dan juga memantau kerja-kerja rutin dan berkala yang dilaksanakan mengikut spesifikasi JKR. Sekiranya sesuatu projek itu dilaksanakan tanpa Jurutera Perunding maka menjadi tanggungjawab Jurutera dan Penolong Jurutera untuk melakukan pemantauan seperti menyemak dan menyelia kerja-kerja rutin dan berkala mengikut spesifikasi JKR, menyemak laporan bulanan bagi kerja-kerja fizikal dan bukan fizikal dan juga koordinasi pemeriksaan mandatori bagi jambatan secara tahunan serta laporan tahunan, serta juga menyemak dan membetulkan jadual kerja yang dimajukan oleh pihak konsesi agar mematuhi garis panduan JKR.

Sebagai langkah penambahbaikan, selain pemantauan dibuat oleh pihak konsesi, Jurutera Perunding JKR dan PBT, kerajaan melalui Johor Centre For Construction Development (JCCD) selepas ini akan memantau prestasi kerja semua kontraktor. Sekiranya JCCD menerima aduan dan siasatan mendapati pihak kontraktor tidak mematuhi syarat-syarat kerja seperti bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan, tidak menyediakan TMP yang sempurna, kerja yang tidak mematuhi SOP dan juga kualiti kerja yang tidak memuaskan, JCCD boleh mengambil tindakan dengan sama ada menurunkan taraf syarikat berkenaan ataupun menamatkan pendaftaran syarikat tersebut. Dengan penamatan pendaftaran syarikat, syarikat tersebut tidak boleh lagi menerima sebarang kerja yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri. Terima kasih.

Speaker

Sila Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih YB Exco di atas jawapan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir selalu menerima aduan berkenaan dengan jalan yang baru diturap menyebabkan bahu jalan itu menjadi rendah dan akhirnya membahayakan kepada pengguna-pengguna motosikal dan juga kenderaan ringan. Jadi isu yang cuba Gambir sampaikan pada hari ini adalah bolehkah atau tidak kos untuk membina ataupun menurap baru jalan raya itu terutama di kampung dan desa, memasukkan juga kos menurap bahu jalan supaya ianya boleh dibuat secara sekali gus tanpa memohon peruntukan tambahan untuk kita menurap bahu jalan. Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Gambir atas soalan tambahan. Saya setuju sepatutnya memang projek yang melibatkan pembaikan jalan termasuk sekali dengan bahu jalan dan mungkin yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Gambir itu ialah kerja-kerja maintenance, selenggara kerja-kerja melibatkan penyelenggaraan khususnya jalan negeri yang menggunakan peruntukan MARRIS kita tidak boleh melebarkan jalan dan sebagainya, hanya maintenance sahaja. Tetapi walau bagaimanapun, seperti saya sebut tadi sepatutnya kalau projek yang melibatkan jalan memang kita akan masukkan sekali bahu jalan dan perabot jalan dan sebagainya. Insya-Allah selepas ini saya akan semak balik dengan pihak kewangan negeri sama ada kita boleh juga gunakan peruntukan MARRIS untuk digunakan untuk pelebaran dan juga penambahbaikan di bahu jalan. Terima kasih.

Speaker

Jemput Sri Medan.

Minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong penuhlah apa yang telah dilakukan pihak JKR atau pihak Selia Senggara dan juga konsesilah yang telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan. Cuma apa yang saya lihat di sini, jika dibenarkan pertanyaan saya atau boleh jawab atau tidak saya tak ada masalah mungkin boleh bertulis. Spesifikasi jalan-jalan yang ada pada hari ini sama ada masih bersesuaian dengan ketebalan yang ada, kerana kalau kita lihat pada hari ini dengan jumlah kenderaan yang banyak, dengan kenderaan berat yang selalu keluar masuk di kampung mungkin mengakibatkan kerosakan jalan dengan lebih kerap dan juga yang kedua, saya ingat 20 atau 30 tahun dulu, pihak KPRJ ni pernah menjalankan kerja-kerja membina jalan dan sebagainya, di kawasan-kawasan kampung saya lihat ada memasang pagar untuk mengelakkan daripada kenderaan berat melalui jalan tersebut. Adakah pihak kerajaan boleh menimbangkan untuk kita melihat semula spesifikasi untuk ketebalan jalan, premix dan juga memasang pagar dan juga yang ketiga kerja-kerja untuk compaction. Kalau kita lihat ketika membina jalan-jalan baru penggunaan jentera berat mungkin seberat 8 tan tapi untuk kerja-kerja penyelenggaraan mungkin penggunaannya menggunakan compactor yang kecil, adakah ini disedari oleh pihak konsesi atau pihak JKR? Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Untuk soalan yang pertama berkenaan dengan spesifikasi jalan, saya setuju. Ada banyak jalan-jalan kita Yang Berhormat, telah jauh daripada spesifikasi asal, sebagai contoh saya ingat 2, 3 minggu lepas saya dengan Yang Berhormat Puteri Wangsa ada melawat kawasan FELDA Ulu Tebrau. Jalan tu sebenarnya jalan FELDA tetap disebabkan perkembangan pembangunan negeri Johor, jalan tu dah jadi jalan utama. Dan bila kita kesan jalan tersebut Yang Berhormat Datuk Speaker, kita memerlukan lebih kurang RM9.0 juta untuk kita ganti balik kerosakan ini sebab dia dah melibatkan kerosakan struktur asal jalan itu. Sepatutnya jalan tu jalan FELDA, jalan orang kampung guna, tapi telah digunakan oleh kenderaan yang berat tapi kita ada juga permohonan yang diangkat Yang Berhormat untuk menaik taraf jalan-jalan sedia ada, cuma untuk jalan-jalan federal kita ada kekangan sedikit sebab ia dilakukan mengikut permohonan. Sebagai contoh, Jalan Pasir Gudang, kita alhamdulillah kita dapat peruntukan untuk menggunakan kaedah yang lebih tahan lama, melibatkan struktur iaitu kaedah CIPR tapi, satu kosnya tinggi dan kaedahnya tak banyak diguna pakai di Malaysia, jadi kita kena susun baik-baik tetapi saya setuju dengan cadangan untuk kita menilai semula jalan-jalan di seluruh negeri Johor, sama ada masih kekal relevan untuk dilalui oleh kenderaan-kenderaan masa kini.

Untuk soalan kedua, satu cadangan yang baik, insya-Allah akan diusulkan supaya pagar-pagar dapat dibina supaya kenderaan tertentu sahaja boleh menggunakan jalan-jalan tersebut dan juga untuk compactor tadi tu, sama juga Yang Berhormat, isu ini ialah satu, isu kos tapi untuk jalan-jalan yang selalu berlaku kerosakan memang kita akan guna compactor yang 1 tan lebih, yang jenis roller pula. Contohnya, yang kita buat adalah di Pasir Gudanglah, sebagai contoh, sebab bila lokasi itu selalu berlaku kerosakan berulang ia melibatkan structure base kepada jalan tersebut dan kita akan menggunakan compactor yang lebih sesuai. Insya-Allah, cadangan-cadangan ini akan, akan kita pertimbangkan dalam pembaikan yang akan datang. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Sri Medan, lain kali tanya satu soalan tambahan sahaja. Tak boleh sampai tiga.

Maaf Pengerusi, maaf Speaker, minta maaf.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

Jika banjir berlaku sewaktu berjalannya peperiksaan awam, apa tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi pelajar-pelajar yang terkesan akibat banjir.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Pasir Raja bertanya jika banjir berlaku sewaktu berjalannya peperiksaan awam, apakah tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi pelajar-pelajar yang terkesan akibat banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama dengan Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan semua calon yang layak dan telah mendaftar sebagai calon peperiksaan SPM dan STPM, sama ada calon sekolah atau calon persendirian berpeluang untuk menduduki peperiksaan termasuklah calon yang terlibat dengan bencana banjir.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang mengancam perjalanan peperiksaan Operasi Payung Bilangan 1 Tahun 2001. Jadi, tindakan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan sekiranya berlaku banjir, calon disediakan tempat penginapan di sekolah dan penempatan di kediaman keluarga yang mempunyai akses terdekat di sekolah. Makan dan minum juga disediakan oleh pihak sekolah, kebajikan calon dan petugas peperiksaan adalah di bawah tanggungjawab sekolah. Selain daripada itu, kerjasama antara ATM dan JPAM digunakan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan.

Kebebasan berpakaian kepada calon diberikan semasa peperiksaan dijalankan. Kebajikan calon dan petugas peperiksaan adalah di bawah tanggungjawab sekolah. Sekolah menyediakan peralatan kepada calon yang terlibat dengan banjir. Calon juga diberikan penangguhan menduduki peperiksaan oleh Pengarah Lembaga Peperiksaan. Tarikh menduduki peperiksaan SPM kali kedua akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kemudahan lain yang boleh diberikan kepada calon yang terlibat dengan banjir, jika berlaku banjir, calon dibenarkan mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang berhampiran dengan kediaman mereka. Sekiranya calon terlewat hadir kerana bencana banjir, mereka boleh menduduki di pusat peperiksaan sebelum 30 minit peperiksaan dijalankan. Calon yang terlewat kerana banjir juga diberikan kemudahan menduduki peperiksaan di bilik kuarantin atau bilik berasingan selepas 30 minit peperiksaan berjalan dan masa gantian untuk menjawab soalan diberikan sepenuhnya. Bagi calon yang tidak hadir semasa hari peperiksaan kerana banjir, mereka akan menduduki peperiksaan kali kedua berdasarkan jadual yang akan ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai-Pegawai Daerah khususnya Pegawai Daerah Kota Tinggi juga Pejabat Daerah Kota Tinggi, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, kerana sewaktu Kota Tinggi dilanda banjir pada tahun ini, penyelarasan dan gerak kerja sangat-sangat memudahkan segala urusan. Jadi, sama-samalah kita doakan moga-moga Kota Tinggi dan negeri Johor ini dijauhkan segala bencana.

Untuk makluman Ahli Dewan, ini info tambahanlah untuk pagi ini, hari ini pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuka booth di sebelah wing kanan Dewan,

jadi saya jemput Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh singgah ke booth tersebut bagi mengetahui informasi dan perbincangan masalah liputan internet dan komunikasi di kawasan masing-masing. Yang Berhormat Datuk Speaker, sekian terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tanjung Surat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Selari dengan pembangunan Pengerang sebagai hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia, nyatakan insentif-insentif kerajaan untuk memastikan kawasan Pengerang kekal strategik dan menjadi pilihan utama pelabur asing.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pembangunan kawasan Pengerang sebagai hab kimia dan petrokimia, kerajaan persekutuan melalui Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia atau Malaysia Petroleum Resources Corporation telah menubuhkan Johor Petroleum Development Corporation sebagai satu agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), yang meliputi kawasan industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, Kota Tinggi.

Mandat JPDC termasuk menjadi agensi termaju untuk perancangan dan penyelarasan kerja-kerja pembangunan industri hiliran minyak dan gas di PIPC dan mempromosi dan memudahcara pelaburan minyak dan gas hiliran dan petrokimia masuk ke PIPC. Pembangunan kelompok tenaga kerja berkemahiran yang sedia untuk diambil bekerja oleh industri serta memudahcara penglibatan tenaga kerja dan usahawan ataupun perniagaan tempatan dalam pembangunan ekonomi di kawasan PIPC.

Kawasan ini menempatkan kemudahan seperti loji penapisan minyak, loji penghasilan petrokimia, terminal pengangkutan produk cecair, tangki-tangki penyimpanan minyak mentah dan produk petroleum cecair, loji penggasan semula serta prasarana dan kemudahan sokongan lain. Pembangunan PIPC telah pun dirancang mengikut PIPC Master Plan untuk dilaksanakan dalam tempoh 25 tahun di antara tahun 2013 hingga tahun 2037 dan telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion setakat pertengahan fasa kedua pembangunan iaitu antara tahun 2020 hingga 2025.

Dalam Belanjawan 2024, yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, kerajaan persekutuan telah pun mengumumkan bahawa pembangunan PIPC akan terus disokong melalui pemberian Pakej Galakan Cukai Khas atau Elaun Cukai Pelaburan. Inisiatif ini adalah selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Chemical Industry Road Map 2030, di mana sektor kimia dan petrokimia merupakan salah satu sektor yang digalakkan.

Dua pakej insentif utama sedang dibincangkan oleh pihak JPDC, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor bersama pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk ditambah baik dan ditetapkan syarat-syarat permohonan dan kelayakan insentif cukai. Secara amnya, pakej satu, melibatkan bagi syarikat baharu dengan pelaburan minima sehingga RM500, pelaburan minima RM500 juta dan ke atas dalam aktiviti kimia dan petrokimia. Untuk pakej ini, pelabur bakal menikmati kadar cukai istimewa, untuk cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, pengecualian cukai, duti setem dan pengecualian duti import.

Dan untuk pakej dua, untuk memaju kawasan perindustrian di kawasan PIPC, di mana pemaju bakal menikmati kadar cukai istimewa. Turut dilaksanakan adalah inisiatif di bawah Rangka Kerja, My MPTCHR atau Malaysian Men Power Training Certification Hiring and Retaintion Programme, yang menyediakan latihan kemahiran industri termasuk up-skilling dan re-skilling pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor, demi mempersiapkan kelompok tenaga kerja berkemahiran, cekap serta mempunyai pensijilan daripada Institut Latihan Teknikal, yang mempunyai pentauliahan industri. Inisiatif ini juga memajukan permintaan industri, bermakna JPDC membuat pemadanan antara majikan yang memerlukan tenaga kerja mahir dengan calon-calon terlatih seperti mana yang saya kongsikan dengan Dewan ini, pada awal tahun ini. Inisiatif My MPTCHR ini telah pun mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan sehingga antara tahun 2013 hingga akhir tahun lepas tahun 2022. Inisiatif ini telah menyediakan 6,299 orang tenaga kerja mahir, ini termasuk 3,700 dan dua tenaga kerja mahir yang dilatih dan diambil kerja oleh pelbagai majikan untuk keperluan masa pembinaan antara tempoh 2013 hingga 2022. Dan, untuk tempoh operasi telah pun melibatkan 2,597 tenaga kerja, tenaga kerja mahir dan daripada jumlah tersebut sebanyak 521 orang adalah orang tempatan dari kawasan Pengerang.

Kerajaan juga telah pun mengumumkan pembinaan lorong memotong di Lebuhraya Senai – Desaru, yang menghubungkan Pengerang dengan kawasan-kawasan ekonomi utama termasuk Bandaraya Johor Bahru, pelabuhan dan kawasan perindustrian di Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Projek ini akan dapat membantu melancarkan aliran trafik yang semakin meningkat susulan pembangunan dan operasi PIPC dan kawasan peranginan di Desaru. Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Perbandaran Pengerang dan Invest Johor juga sentiasa memberi konsentrasi bagi projek-projek di kawasan PIPC, supaya ia dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO di atas jawapan yang diberikan tadi. Sememangnya projek PIPC ini merupakan projek yang berimpak tinggi dan memberi kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi setempat. Jadi, soalan saya sebagai ADUN kawasan, apakah projek yang sedia ada, projek apa yang akan datang juga projek yang betul-betul komited untuk pembangunan pelaburan akan datang. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat ADUN Tanjung Surat, Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang, sehingga setakat ini telah pun ada 4 projek utama yang telah pun direalisasikan di kawasan PIPC iaitu Pengerang Integrated Petroleum Complex oleh Petronas yang melibatkan nilai pelaburan sehingga RM109.6 bilion yang melibatkan projek penapisan minyak, loji petrokimia dan tangki simpanan petrokimia serta terminal penegasan semula dan projek kedua utama yang direalisasikan oleh Dialog Group Berhad sebanyak RM14.71 bilion yang melibatkan jeti dan tangki simpanan. Projek ketiga adalah oleh Johor Corporation untuk Taman Perindustrian Pengerang Bersepadu yang lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur untuk industri berat, sederhana dan ringan dan projek keempat oleh Petronas Resource Two Energy Sdn Bhd iaitu kompleks sehenti untuk memproses sisa berjadual kepada sumber tenaga. Dan sepertimana yang diumumkan baru-baru ini telah pun ada 2 projek yang dijangka akan dimulakan pada tahun depan iaitu oleh Syarikat Dialog – Morimatsu iaitu usaha sama antara Dialog Group Berhad dengan Morimatsu Limited, yang melibatkan perkhidmatan kejuruteraan sehenti dan fabrikasi untuk peralatan proses kritikal dan juga loji kemudahan modular, yang melibatkan pelbagai fasa, di mana fasa 1 dan fasa 2 melibatkan nilai pelaburan sehingga RM300 juta dan kerajaan sedang dalam perbincangan dengan syarikat tersebut untuk fasa ketiga.

Dan juga diumumkan adalah oleh Petronas Chemical Group Berhad untuk membina loji kitar semula kimia termaju di rantau Asia yang menghasilkan minyak hidrolisis dan projek ini sedang dimuktamadkan dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Pihak JPDC juga aktif untuk, dalam, sedang perbincangan dengan beberapa syarikat lain untuk membuat keputusan pelaburan akhir ataupun dalam proses kajian kebolehlaksanaan yang melibatkan pelbagai projek, projek melibatkan pembinaan loji penapisan minyak, pemecahan, melibatkan cadangan pembangunan bio-refinary menggunakan minyak masak terpakai untuk menghasilkan bahan api bio yang melibatkan cadangan untuk pembangunan projek yang menghasilkan entry low natural untuk pelbagai aplikasi, yang melibatkan cadangan pembangunan ladang tenaga photo watex serta cadangan pembangunan projek penghasilan bahan kimia untuk poly interim dan sebagainya. Dengan adanya projek-projek sebegini, kita jangka kawasan Pengerang, kawasan Kota Tinggi akan terus dimajukan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Apakah kerajaan bersedia untuk membina dan menubuhkan satu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kawasan DUN Endau?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan yang dikemukakan oleh Endau adalah, adakah kerajaan bersedia untuk membina dan menubuhkan satu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kawasan DUN Endau?

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin terhadap kumpulan sasar Jabatan termasuklah warga emas. Pusat aktiviti warga emas ini adalah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. Ia merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial, dengan izin reaching out dan pembangunan, dengan izin developmental kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kriteria penubuhan sebuah pusat aktiviti ini adalah perlu mengambil kira perkara-perkara berikut :

1. Bilangan warga emas. Bilangan warga emas yang ramai dan berminat untuk menjalankan sesuatu aktiviti dalam sesebuah komuniti;

2. Lokasi. Lokasi premis hendaklah strategik dan mudah untuk diakses oleh warga emas dan orang awam. Ianya juga biasanya berhampiran dengan kemudahan awam;

3. Pemilihan Premis. Premis pusat aktiviti warga emas yang dipilih hendaklah mesra warga emas dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan seperti bangunan kerajaan, premis swasta, kuarters, balai raya dan sebagainya; seterusnya adalah

4. Komuniti Penggerak. Komuniti penggerak yang mempunyai minat dan komitmen dalam mengendalikan warga emas seperti pertubuhan bukan kerajaan, persatuan-persatuan komuniti setempat atau agensi swasta yang merupakan tulang belakang terhadap pelaksanaan pusat aktiviti warga emas ini; seterusnya

5. Sokongan pegawai (bunyi kuat) mohon maaf Datuk Speaker. Penubuhan pusat aktiviti warga emas ini hendaklah terlebih dahulu mendapatkan sokongan daripada pejabat kebajikan masyarakat, Pengarah bagi membolehkan proses permohonan dibuat serta lain-lain kriteria yang bersesuaian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sehubungan itu mana-mana agensi swasta, NGO yang mempunyai keperluan dan cadangan bagi penubuhan pusat aktiviti ini yang baharu boleh membuat permohonan untuk penubuhan pusat aktiviti ini kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berdekatan untuk diangkat kepada Mesyuarat Jawatankuasa Penubuhan dan pemberian bantuan kewangan kerajaan berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan. Terima kasih Datuk Speake Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput Endau.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas jawapan tadi dan soalan tambahan saya sehingga kini berapa buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang sedia ada di negeri Johor dan apakah kriteria untuk menjadi ahli PAWE? Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Endau. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin terhadap kumpulan sasar jabatan termasuklah warga emas. Sehubungan itu, usaha untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif adalah menjadi objektif utama penubuhan pusat aktiviti ini.

Sehingga Oktober 2023, terdapat 16 pusat aktiviti warga emas yang telah berjaya ditubuhkan di negeri Johor dengan bilangan ahli warga emas yang berdaftar di pusat-pusat aktiviti tersebut adalah 3,959. Izinkan saya menyebutkan senarai pusat-pusat tersebut yang terdapat di negeri Johor mengikut Parlimen dan DUN.

1. Kluang; 2. Parit Keroma, Muar; 3. Johor Bahru di Johor Bahru; 4. Pasir Gudang; 5. Bukit Pasir, Muar; 6. Kota Tinggi; 7. Pusat Aktiviti Bandar Segamat, Segamat; 8. Pusat Aktiviti Tangkak di Tangkak; 9. Pusat Aktiviti Tenggaroh di Mersing; 10. Pusat Aktiviti Kawanku di Mersing; 11. Pusat Aktiviti Permai di Kulai; 12. Pusat Aktiviti Gemilang di Pontian; 13. Pusat Aktiviti Bandar Penawar di Kota Tinggi; 14. Pusat Aktiviti Labis di Segamat, Labis; 15. Pusat Aktiviti Seri Sulong, Batu Pahat; dan 16. Pusat Aktiviti Bandar Tenggara di Kota Tinggi

Yang Berhormat Datuk Speaker, penerimaan pelbagai lapisan masyarakat terhadap perkhidmatan pusat aktiviti warga emas ini telah menyebabkan kumpulan sasar keahlian pusat aktiviti ini dikembangkan bagi membolehkan kemudahan ini dinikmati oleh semua pihak. Kriteria kumpulan sasar bagi keahlian ini terbahagi kepada 2 iaitu :

1. Secara langsung – warga emas yang berumur 60 tahun ke atas yang sihat tubuh badan dan boleh berdikari;

2. Secara tidak langsung – ahli komuniti setempat seperti kanak-kanak, remaja, wanita, orang kurang upaya, keluarga dan komuniti rentan dan sebagainya.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib Bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.

Apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan Parit Yaani?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor kepada seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada Parit Yaani kerana telah menanya soalan melibatkan klinik kesihatan di kampung saya.

Untuk maklumat Yang Berhormat, Klinik Kesihatan Tongkang Pechah telah menjalankan projek naik taraf di unit makmal dan pembaikan sekeliling pada tahun 2023, dengan jumlah kos RM450,000.00 dan telah pun siap sepenuhnya. Namun begitu menyedari bahawa kedatangan harian yang lebih 200 setiap hari, kawasan sekeliling yang membangun dengan pesat dan keluasan tanah sedia ada, membolehkan pihak Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat merancang untuk mengemukakan cadangan pembinaan klinik kesihatan baharu jenis 3 di Tongkang Pechah dalam jangka masa panjang.

Fasiliti serba baharu ini akan menyediakan perkhidmatan tambahan seperti radiologi, fisioterapi, pemakanan dengan kapasiti yang lebih besar daripada fasiliti sedia ada. Ini akan dimantapkan lagi dengan pembukaan Program Kesihatan Mental Komuniti (Mentari) yang akan mula beroperasi dalam jangka masa terdekat.

Klinik Kesihatan Parit Yaani pula juga telah mendapat projek naik taraf bernilai RM350,000.00 dan status projek kini berada di fasa akhir dan dijangka akan siap dalam masa terdekat ini. Berbeza dengan Tongkang Pechah, kawasan ini membangun dengan lebih perlahan, dengan kedatangan pesakit atau pun pelanggan sekitar 100 hingga 150 sehari.

Dimensi tanah sedia ada juga yang sedikit sempit menjadi kekangan kepada pembinaan klinik baharu dan erti kata kedua-dua klinik kesihatan dalam kawasan Yang Berhormat Parit Yaani telah menerima jumlah peruntukan RM800,000.00 dalam tahun 2023. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib Bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO (Yong Peng), dia bantu kawasan Parit Yaani ini sebab dia tinggal di Tongkang Pechah. Selesailah kedua-dua klinik di klinik kesihatan di Tongkang Pechah dan Parit Yaani. Apa pula perancangan kerajaan dalam masa meningkatkan kualiti perkhidmatan di klinik desa? Sebab klinik desa ini merupakan sistem perkhidmatan kesihatan yang paling dekat dengan orang kampung. Itu saja. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Ok, terima kasih Parit Yaani. Memang benar apa yang dikatakan oleh Parit Yaani. Sistem kesihatan yang paling dekat dengan orang kampung adalah klinik-klinik desa yang didirikan dalam kawasan pendalaman atau pun di kawasan kampung. Dan untuk maklumat Yang Berhormat, di klinik desa dalam kawasan Parit Yaani antaranya Klinik Desa Beroleh dalam tahun 2023 telah menerima peruntukan sebanyak RM349,000.00 untuk projek menaik taraf. Dan manakala bagi Klinik Desa Sungai Linau yang di bawah operasi KK Tongkang Pechah dan juga Klinik Desa Parit Yob yang di bawah operasi Klinik Kesihatan Parit Yaani telah tersenarai dalam fasiliti daif bagi cadangan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti kesihatan dalam tahun 2024, mudah-mudahan.

Dan untuk maklumat seisi Dewan, dalam tahun 2023 jumlah KK yang menerima peruntukan untuk dinaik taraf adalah 14 klinik kesihatan. Bagi klinik desa pula yang menerima peruntukan untuk menaik taraf adalah 29 buah dengan jumlah peruntukan RM13,629,430.16. Mudah-mudahan pada tahun 2024 nanti kita akan teruskan kerja-kerja menaik taraf klinik-klinik daif yang bergantung peruntukan yang diterima daripada pihak KKM. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput YB Kemelah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 8.

Johor merupakan antara pengeluar utama buah-buahan dan sayuran di negara ini, apakah potensi dan tumpuan yang boleh dititikberatkan pengusaha tempatan bagi mengembangkan lagi sektor yang telah mereka usahakan ini.

Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat YB Kemelah.

YB Kemelah bertanyakan berkenaan dengan potensi dan tumpuan kerajaan dalam membantu pengusaha tempatan mengembangkan lagi sektor yang telah mereka usahakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor merupakan pengeluar utama beberapa produk tanaman makanan negara terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran. Untuk rekod pada tahun 2022, Johor merekodkan keluasan tanaman buah-buahan terbesar iaitu seluas 50,217 hektar dengan pengeluaran terbesar iaitu sebanyak 772,317.4 metrik tan atau 34.5% daripada pengeluaran buah-buahan seluruh negara.

Untuk tanaman sayur-sayuran pula pada tahun 2022. Johor merekodkan keluaran, keluasan bertanam seluas 17,188.3 hektar dengan pengeluaran kedua terbesar selepas Pahang iaitu sebanyak 300 minta maaf iaitu sebanyak 245,330.4 metrik tan.

Kami ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini juga bahawa kerajaan berazam dalam agenda jaminan bekalan makanan negeri Johor untuk meningkatkan lagi pengeluaran industri tanaman makanan utama bagi komoditi buah-buahan dan sayur-sayuran ini. Untuk buah-buahan misalnya kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan fokus sebanyak 33.61% atau 230,436 metrik tan pada tahun 2027.

Buah-buahan yang menjadi fokus utama adalah betik, durian, nanas, pisang, tembikai, nangka dan kelapa. Untuk sayur-sayuran pula, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran sayur-sayuran fokus sebanyak 39.9% atau peningkatan sebanyak 44,977

metrik tan pada tahun 2027. Sayur-sayuran fokus adalah cili, halia, bendi, kacang panjang, sawi dan timun.

Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi menyediakan pelbagai insentif bagi membantu petani melaksanakan aktiviti tanaman ini. Bantuan insentif meliputi pembangunan ladang seperti penyediaan kawasan, infrastruktur asas, benih dan input, teknologi dan IOT, sistem pengairan, peralatan, mekanisasi dan jentera, pusat pengumpulan hasil ladang dan lain-lain insentif yang boleh menyumbang kepada peningkatan kuantiti dan kualiti hasil tanaman.

Kerajaan negeri juga dalam usaha untuk merancakkan lagi aktiviti eksport produk hasil tanaman tempatan yang berpotensi ke negara serantau dan antarabangsa. Ketika ini Johor merupakan pengeksport utama produk pertanian ke negara jiran, Singapura termasuklah komoditi buah-buahan, sayur-sayuran dan produk hiliran.

Tanaman fokus utama Johor adalah seperti tanaman nangka, durian, kelapa, nanas, cili dan sayur-sayuran daun bagi pasaran negara jiran dan negara lain yang telah mendapat laluan pasaran. Sebagai contoh, komoditi nanas yang pada masa ini bukan hanya dieksport ke Singapura, malah merangkumi negara jiran negara China, Jepun, Korea Selatan, Negara Timur Tengah seperti Dubai dan Qatar termasuk juga Negara-Negara Eropah.

Dengan potensi permintaan dan pemasaran yang luas ini, kerajaan negeri menjadikan nanas sebagai salah satu komoditi berpotensi tinggi untuk dipertingkatkan keluasan tanaman dan pengeluarannya bagi memenuhi permintaan eksport. Untuk rekod, negara telah mengeksport nanas ke luar negara dengan nilai 1.2 bilion pada tahun 2022 dan sebahagiannya adalah datangnya daripada Johor.

Selain daripada nanas dan juga durian, nangka juga menjadi salah satu buah-buahan yang berpotensi untuk dieksport. Pada awal tahun 2024 nanti, Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama pengusaha tempatan akan melaksanakan penghantaran percubaan pertama eksport nangka ke China. Susulan pelaksanaan protokol baru berkaitan keperluan pemeriksaan dan kuarantin, telah dimeterai kerajaan Malaysia dan China pada 1 April lalu. Pemeteraian rasmi ini akan membuka peluang pasaran eksport baharu negara menerusi peluang potensi jualan ke negara berkenaan. Jadi kepada pengusaha-pengusaha nangka, saya harap akan merebut peluang pasaran ke China ini.

Keperluan untuk memenuhi permintaan eksport memerlukan perhatian kepada aspek kuantiti dan kualiti produk. Justeru kerajaan negeri melalui pelbagai agensi sentiasa bersedia untuk membantu para pengusaha untuk tujuan tersebut. Program kolaborasi antara syarikat peneraju dengan petani kecil dan sederhana juga akan diperkasakan bagi memastikan segala keperluan dan kriteria negara pengimport dapat dipenuhi, di samping potensi dan peluang ini dapat dirasai oleh semua peringkat pemain dalam sektor industri pertanian dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan peluang dan potensi ini pihak kerajaan menggalakkan para pengusaha untuk melaksanakan beberapa aspek:

1. Mendapatkan pensijilan My Gap, My Organic, MESTI dan HALAL. Ia penting untuk jabatan mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik ini bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

2. Menggalakkan pengamalan pertanian moden dan berteknologi. Pengamalan ini akan meningkatkan pengeluaran di samping dapat menurunkan kos operasi dalam jangka panjang.

3. Bijak meneroka peluang pemasaran. Sebagai contoh, menjalankan pengurusan dan kolaborasi dengan pihak pengusaha lain seperti Anchor Company, sebagaimana program kolaborasi antara syarikat peneraju dan pengusaha kecil dan sederhana yang akan memberi manfaat dan win win situation dari segi peluang pemasaran, harga jualan yang berpatutan dan peluang perkongsian kepakaran. Kami juga menggalakkan pengusaha untuk memanfaatkan penggunaan media sosial.

4. Pengamalan Intergrated Pest Management (IPM) yang disyorkan oleh Jabatan. Ia bagi memastikan kawalan perosak dan penyakit yang berkesan bagi mengawal kemerebakan kerosakan teruk dan kehilangan hasil pertanian.

5. Sentiasa merujuk kepada jabatan berkaitan bagi tujuan perkembangan untuk dapatkan peluang serta nasihat daripada pihak Jabatan. Terima kasih.

Speaker

Jemput Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker Panti merupakan, di kawasan Panti merupakan pengeluar nangka bagi negeri Johor. Antara isu yang dihadapi oleh pengusaha apabila saya turun ke ladang-ladang mereka adalah kekurangan pekerja, khususnya pekerja asing. Dan antara syarat yang dikenakan bagi mereka untuk mendapatkan pekerja asing adalah menyediakan kediaman ataupun hostel yang mempunyai CF dan sebagainya. Dan antara ada landang-ladang ini jauh daripada kawasan penempatan, so lebih mudah bagi mereka jika mereka dapat membina hostel atau pun kediaman dalam ladang itu sendiri. Tetapi bila dalam ladang ini syaratnya tak boleh ada bangunan kekal, so CF tak lepas tak boleh dapat. Soalan saya adakah kerajaan bersedia untuk bantu mereka dari sudut ini, maknanya memudahkan. Mungkin apa bagi pengecualian berbincang kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk pengusaha-pengusaha ladang ini, sebab mereka beri jaminan akan membina kediaman yang selamat dan sebagainya untuk pekerja-pekerja mereka. Dan saya minta daripada kerajaan bersedia untuk membantu mereka ni dari segi pekerja asing. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Panti atas soalan ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Dewan, bahawa isu ini bukan hanya kepada pengusaha nangka di Panti sahaja, ia sebenarnya isu yang dibangkitkan juga oleh bukan sahaja oleh petani-petani atau pengusaha tanaman, tetapi juga dibangkitkan sama oleh ladang dan ternakan kerana ia melibatkan Kebenaran Merancang (KM). Jadi untuk makluman Ahli Dewan dan Panti bahawa perbincangan sedang dan akan dilakukan bersama dengan Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan termasuk juga PBT-PBT untuk memikirkan bagaimana menyelesaikan KM khas untuk mereka menjalankan kerja-kerja pertanian dan penternakan. Terima kasih.

Speaker

Ya Tangkak, sila.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Apa yang telah dijawab atau dikongsikan oleh Yang Berhormat EXCO tadi lebih kepada perkembangan atau mengembangkan lagi pengusaha pertanian ini dari huluan. Apa yang Tangkak ingin tanya adalah berkenaan dengan industri terutama industri buah-buahan bagi hiliran iaitu kami sedia maklum bahawa terdapat pengusaha-pengusaha terutama generasi kedua pengusaha kebun ini telah membuat industri buah-buahan, saya ambil contoh ada kita ternampak buah-buahan jambu batu kering atau pun buah-buahan lain. Jadi soalan daripada Tangkak soalan tambahan apakah bantuan atau ganjaran ataupun khidmat nasihat yang akan atau telah disediakan oleh Jabatan Pertanian khususnya bagi membantu lebih ramai terutama generasi kedua pengusaha kebun buah-buahan ataupun sayur-sayuran ini

untuk menceburi dalam industri pemprosesan buah-buahan dan sayur-sayuran ini supaya dapat mengembangkan lagi sektor ini sehingga menjanakan pendapatan ataupun hasil untuk kerajaan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya terima kasih Yang Berhormat Tangkak yang telah membangkitkan perkara ini terutama tentang penglibatan anak muda dalam pertanian ataupun program hiliran tadi. Dan Yang Berhormat Datuk Speaker minta maaf tidak dapat menyertakan jawapan di sini kerana ia melibatkan ada banyak perkara yang boleh jabatan dan Pejabat Pertanian bantu dalam program tersebut jadi saya akan sertakan jawapan bertulis kepada Yang Berhormat Tangkak. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat. Sidang kali ada jamuan buah-buahan ke?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker sebenarnya saya pun nak maklumkan bahawa seperti yang lepas-lepas Jabatan, portfolio ini dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri dan daerah-daerah bukan sahaja kali ini menyediakan buah-buahan durian, malah kita akan sertakan buah-buahan seperti yang disebutkan tadi termasuk nangka, rambutan dan sebagainya. Saya jemput semua Ahli Yang Berhormat untuk menikmati kenikmatan buah-buahan Johor pada Khamis nanti insya-Allah. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih, jangan lupa ya. Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar, ada soalan tambahan.

Yang Berhormat saya bangun dulu.

Speaker

Saya bagi Kemelah dahulu.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya mengucapkan terima kasih jawapan yang diberi oleh YB EXCO tadi. Langkah-langkah dan usaha-usaha yang dilakukan pihak jabatan sangat baik. Saya percaya boleh bantu pekebun dan menambah hasil keluaran mereka, soalan tambahan saya apakah pula jaminan Jabatan agar hasil yang meningkatkan nanti tidak menyebabkan lambakan hasil pertanian dan apa yang boleh dibantu terhadap harga yang mungkin jatuh ke paras terendah? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kemelah, terima kasih atas soalan ini. Sebenarnya Jawatankuasa ini sentiasa ambil maklum tentang perkara yang dibangkitkan oleh Kemelah, termasuk lambakan dan kejatuhan harga apabila berlaku lambakan atau pengeluaran satu-satu jenis tanaman itu banyak dalam satu masa. Sebagai langkah membantu lambakan ini, Jabatan Pertanian Negeri Johor dengan juga kerjasama beberapa jabatan lain, telah berusaha untuk membantu pengusaha ini.

Antaranya ialah jabatan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang telah membuka Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) yang di selenggara oleh Pertubuhan Peladang Kawasan atau PPK. Di Johor terdapat lebih kurang 29 PPHP ataupun Pusat Pertanian seluruh negeri yang bersedia untuk menjadi pusat pengumpulan kepada hasil pertanian, jadi saya harap agar mana-mana pengusaha atau petani di dalam kawasan-kawasan berkenaan bincang dengan Pertubuhan Peladang untuk mereka ambil tindakan atas lambakan ini.

Yang kedua Yang Berhormat Datuk Speaker perkara yang dilakukan oleh pihak FAMA. FAMA juga memainkan peranan yang penting untuk membuat belian secara langsung dan

juga membuat pengaturan pasaran kepada petani yang terjejas. Untuk rekod Ahli Dewan pada tahun 2022 sahaja sebanyak 966 metrik tan dengan nilai belian RM1.47 juta telah dijalankan melalui khidmat pemasaran urus niaga FAMA negeri Johor. Dan untuk tahun 2023 ini sehingga Oktober 2023 sebanyak 540 metrik tan dengan nilai RM1.28 juta telah dilakukan khidmat pemasaran oleh pihak FAMA iaitu FAMA telah membeli barang-barang ataupun hasil pertanian lambakan ini tetapi dengan harga yang bersesuaian, tidak terlalu tinggi tetapi tidak akan merugikan pengusaha. Antara komoditi yang agak terjejas dan biasa dibantu oleh FAMA ialah cili merah, pisang berangan, pisang tanduk, timun, ubi kayu, tembikai, buah-buahan bermusim seperti rambutan, pulasan, manggis dan durian.

Jadi sehubungan dengan itu, semua projek dan program yang disediakan ini diharap dapat dimanfaatkan oleh semua kumpulan sasar bagi memastikan hasil keluaran mereka dapat dipasarkan secara efektif seterusnya dapat bersaing dengan pasaran terbuka serta mengurangkan kerugian kepada petani. Terima kasih.

Speaker

Tenang nak tanya ke? Sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita tahu raja buah sangat popular iaitu buah durian dan kita melihat buah durian ini bermusim ya. Dan apabila luruh kita tengok dia berlambak-lambak dan kadang kala ianya tidak dapat dijual dan sebagainya. Jadi adakah usaha ataupun inisiatif daripada kerajaan negeri untuk membawa masuk pelaburan supaya durian-durian ini bukan sahaja dibuat semasa musim-musim ini, tetapi mengeluarkan produk dari durian itu sendiri. Saya pernah melihat satu kilang di Raub, di mana kilang itu khas hanya untuk mengeluarkan produk-produk daripada durian. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, durian yang kami akan hidangkan pada Yang Berhormat pada hari Khamis bukan kerana lambakan, itu untuk makluman. Tetapi saya setuju dengan apa yang dinyatakan Yang Berhormat Tenang tentang lambakan durian pada musim-musim utama. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Dewan bahawa pada beberapa tahun dahulu durian pernah jatuh ke paras ke 50 sen ke RM1.00 sekilogram. Tetapi kerajaan pada ketika itu telah mengambil inisiatif untuk mempromosi durian negara kita keluar dan antara negara yang menyambut atau mengimport durian dengan jumlah yang besar hari ini ialah negara China. Jadi, kemudian selepas daripada itu ada banyak pengusaha-pengusaha yang mula membuka ladang durian secara besar-besaran dan Jabatan telah membuat satu tinjauan bahawa jika tidak dilakukan sesuatu, dan jika pihak negara China menghentikan import durian negara kita, maka 2 atau 3 tahun akan datang akan berlaku lambakan durian secara besar-besaran kerana ada banyak pengusaha yang telah menukar tanaman biasa seperti getah, sawit dan sebagainya ditukar kepada durian.

Jadi Jabatan melalui FAMA telah mengambil inisiatif untuk membuka pusat pengumpulan hasil pertanian khusus untuk durian. Dan FAMA telah mencadangkan Tangkak sebagai pusat ini yang akan bekerjasama dengan pihak swasta untuk mengumpul durian ini, pertama untuk menjadikan ianya seperti yang disebut oleh Tenang tadi, hasil-hasil sampingan seperti pes dan sebagainya.

Dan yang kedua FAMA berusaha untuk mengumpul durian ini, disejukbekukan dan akan pasarkan durian di luar musim. Jadi kita harap usaha ini akan menjadikan durian Johor khasnya, akan dapat dijual semasa musim dan di luar musim. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan hari ini ada banyak pengusaha durian kita yang menghantar ke Raub seperti yang dimaklumkan oleh Tenang tadi, betul kerana kita tidak ada satu pusat pengumpulan khusus untuk menyimpan durian jangka masa panjang. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Yang Berhormat, negara China dah boleh tanam durian ke? Negara China, mereka dah boleh tanam durian sendiri ke?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui laporan yang kami terima daripada Jabatan Pertanian bahawa di China ada satu wilayah yang telah mula cuba untuk menanam durian dan itu yang disebutkan oleh jabatan tadi, bahawa jika ia berjaya, maka kita bimbang eksport daripada negara kita ke China mungkin akan berlaku penurunan. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya nampak wajah Datuk Speaker agak muram hari ini. Soalan saya nombor 9.

Dalam usaha kerajaan menjalankan Kempen Johor Bersih dan Lestari, apakah kaedah pengurusan sampah yang dihasilkan oleh kawasan kediaman bukan kawalan PBT dan juga setinggan? Bagaimanakah peranan agensi dalam memastikan mereka juga dapat menyumbang kepada kejayaan kempen ini?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih kepada ADUN Kota Iskandar, soalannya berbunyi dalam usaha kerajaan menjalankan Kempen Johor Bersih dan Lestari, apakah kaedah pengurusan sampah yang dihasilkan oleh kawasan kediaman bukan kawalan PBT dan juga setinggan. Bagaimanakah peranan agensi dalam memastikan mereka juga dapat menyumbang kepada kejayaan kempen ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman, kawasan kediaman bukan kawalan PBT, pihak PBT, Pihak Berkuasa Tempatan seperti kawasan kampung, kawasan tidak bercukai adalah bukan kawasan selenggaraan dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal oleh PBT. Perkhidmatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam hanya diberikan kepada pembayar cukai PBT kerana ia melibatkan kos pengurusan perkhidmatan dan penyelenggaraan. Dengan pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang telah berkuat kuasa pada 1 September 2011, segala kerja-kerja tersebut dilaksanakan serta diuruskan oleh pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara atau dipanggil JPSPN yang di bawah KPKT.

Buat masa ini, kaedah pengurusan sampah di kawasan tidak bercukai secara tradisional iaitu dengan dibakar atau ditanam serta diuruskan oleh pemimpin setempat. Walau bagaimanapun, pihak PBT telah mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kawasan ini juga turut diberi perkhidmatan supaya tidak menjadi masalah, salah satu inisiatif adalah dengan membekalkan tong sampah berpusat, berkapasiti 1,100 liter dengan tong RORO secara CSR di lokaliti kawasan kediaman tidak bercukai serta menyediakan perkhidmatan pengurusan sampah dari rumah ke rumah dengan menggunakan pengangkutan sidecar, bagi sampah domestik secara berkala.

Pihak PBT juga turut membantu pihak Pejabat Daerah bagi melaksanakan Program Johor Bersih di kawasan-kawasan kampung dan kawasan pinggiran PBT serta diperluaskan di semua kawasan di Majlis bagi menjalankan aktiviti gotong royong yang melibatkan penduduk setempat. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ EXCO di atas penjelasan jawapan yang diberikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini, PBT khasnya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri telah menghantar notis nilaian baharu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 137 dan 141. Dihantar kepada pemegang-pemegang atau pemilik harta di dalam kawasan pentadbirannya. Soalan saya, ini termasuk Yang Berhormat Datuk Speaker, kampung-kampung yang berhampiran, saya beri contoh, dulu kampung ini ditadbir, diurussetiakan oleh Pejabat Daerah, sekarang saya beri contoh dua, Datuk Pengerusi, pertama di Maju Jaya kawasan Skudai, dulu kampung, sekarang notis nilaian dibuat oleh pihak PBT kemudian di tempat saya Kota Iskandar sebagai contoh, Kampung Pulai, Kampung Pulai, nilaiannya amat tinggi. Jadi, soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, adakah apabila mereka membayar cukai kepada pihak PBT, mereka-mereka ini dapat perkhidmatan seperti dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato’ EXCO sebentar tadi, seperti pengendalian sampah, pemotongan rumput, sedangkan mereka baru masuk dalam PBT dan kemudahan asas dan keperluan lain masih berkurangan lagi. Jadi, supaya mereka ni dalam Johor Bersih ni, Kempen Johor Bersih dan Lestari ini mereka juga dapat faedah pembaikan seperti mana di taman-taman pentadbiran PBT tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum itu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak-pihak yang terlibat dalam Kempen Johor Bersih yang telah berusia lebih satu tahun empat bulan. Menjawab soalan ADUN Kota Iskandar sebentar tadi, untuk makluman sidang yang mulia ini, pihak PBT di seluruh Johor ni ada 16 PBT. Dan di mana taman-taman perumahan, perdagangan atau industri yang ada notis cukai atau membayar cukai setiap tahun kepada PBT, mereka layak mendapat servis bukan sahaja untuk pembersihan longkang, rumput, sampah tetapi juga allocation untuk projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing seperti pembinaan balai raya, gelanggang terbuka dan juga dewan. Begitu juga, baru-baru ini terdapat beberapa kampung seperti dinyatakan oleh ADUN Kota Iskandar, bahawa kampung-kampung ini terlibat dalam exercise untuk membayar cukai.

Untuk makluman Datuk Speaker, proses untuk memasukkan kampung-kampung ini dalam Pihak Berkuasa Negeri atau PBT, dia mengambil tempoh yang lama. Sebenarnya dia ada sesi Town Hall, sesi penerangan sama ada penduduk-penduduk kampung itu bersetuju untuk di kampung mereka itu dikenakan cukai pada kadar yang rendah. Menjawab soalan ADUN Kota Iskandar, dah tentulah mana-mana kampung, yang membayar cukai, mereka mempunyai hak mendapat perkhidmatan seperti pembersihan longkang, potong rumput, mengangkat sampah dan bukan itu sahaja, di peringkat kampung-kampung baru ini boleh mencadangkan untuk projek-projek seperti gelanggang terbuka, dewan terbuka dan juga fasilti-fasiliti lain termasuk juga infra seperti jalan dan longkang. Terima kasih.

Speaker

Ya, Yang Berhormat, sila-sila.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih atas jawapan yang diberikan oleh YB Dato’ EXCO, soalan saya tentang tempat awam or yang saya dapat aduan seperti di trek pejalan kaki, yang sebelah Dataran Kampung Baru Kulai juga tidak dalam servis perkhidmatan sapuan oleh SWM, saya sudah semak dengan SWM lah dan mereka cakap hanya boleh buat secara CSR sahaja. Jadi soalan saya, bolehkah kita selaku Wakil Rakyat, kita boleh cadang masukkan tempat awam seperti ini dalam senarai servis, ini soalan saya. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada ADUN Senai. Bila bercakap tempat-tempat awam ini, dia ada beberapa kategori sama ada tempat awam tu statusnya tanahnya bagaimana, sama ada kawasan lapang ataupun kawasan berpemilik atau kawasan swasta. Kalau misalan status tanah itu adalah kawasan lapang dan ada allocation atau di dalam kawasan PBT tersebut, pihak Wakil Rakyat atau

pihak penduduk setempat boleh mencadangkan kawasan itu dimasukkan dalam kawasan senarai di bawah PBT. Tetapi, untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya nak beritahu bahawa untuk isu-isu penyelenggaraan, pembersihan parit dan longkang ini semua adalah di bawah tadbir urus SW Corp. Dan SW Corp. ini di bawah dia adalah dipanggil konsesi SWM. Bila maklumat atau permohonan itu dilakukan oleh YB kepada pihak PBT, pihak PBT akan memohon kepada SW Corp. dan melalui SWM memasukkan dalam senarai dan itu akan ada sedikit proses dan tetapi perkara itu boleh dilakukan asal sahaja kawasan lapang itu di dalam kawasan PBT. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.

Adakah agensi seperti JKM dan Baitulmal mempunyai perancangan untuk melaksanakan proses permohonan bantuan, kemas kini data dan lain-lain secara atas talian berbanding proses secara manual seperti dipraktiskan pada masa ini?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Panti. Soalan yang ditanyakan kepada saya, adalah, adakah agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal mempunyai perancangan untuk melaksanakan proses permohonan bantuan, kemas kini data dan lain-lain secara atas talian berbanding proses secara manual seperti yang diamalkan pada masa ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jabatan, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin tentang menyediakan bantuan kewangan kebajikan untuk meringankan beban kumpulan sasar buat sementara waktu sehingga kumpulan sasar ini mampu untuk keluar daripada putaran kemiskinan dan mampu hidup berdikari. Bantuan kebajikan yang diberikan bukan untuk menampung kos sara hidup sepenuhnya, sebaliknya ia adalah untuk membantu meringankan beban kewangan yang dialami oleh kumpulan sasar untuk hidup lebih selesa dan sempurna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa ini terdapat dua kaedah proses permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu pertama, permohonan secara manual, pemohon perlu mengisi borang permohonan dan mengemukakan permohonan bersama dokumen dan surat sokongan yang lengkap kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan pemohon akan dihubungi bagi penetapan tarikh siasatan.

Kedua, permohonan bantuan secara talian. Permohonan bantuan kebajikan atas talian ini boleh dibuat melalui laman sesawang e-Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemohon hendaklah memuat naik dokumen-dokumen sokongan diperlukan bagi membolehkan permohonan mereka diproses dan bagi permohonan yang tidak lengkap, pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat tempat pemohon tinggal dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan untuk proses menghantar dokumen dan siasatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perancangan JKM terhadap pembangunan sistem permohonan dan pengurusan bantuan kebajikan terkandung dalam Pelan Tindakan Pendigitalan JKM 2021-2025, bertujuan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan digital kepada kumpulan sasar yang seterusnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan masyarakat di Malaysia. Berikut adalah objektif pembangunan yang dicadangkan oleh JKM, pertama, untuk membangunkan sebuah sistem berteknologi semasa, yang merangkumi proses-proses terlibat dan semua jenis bantuan kewangan yang diurus oleh JKM secara atas talian sepenuhnya dan mengintegrasikan agensi kerajaan dan swasta yang berkepentingan terhadap maklumat

penerima bantuan kewangan. Mewujudkan platform digital yang selamat dan berintegriti bagi semua pemegang taruh bersama-sama terlibat bagi memastikan permohonan bantuan kewangan diproses dan diluluskan dengan pantas.

Ketiga, mewujudkan satu pangkalan data profil penerima bantuan yang disediakan fungsi business inteligence yang berintegrasi dengan MyGDX. Keempat, pembangunan, membangunkan sistem yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia dan kakitangan awam di dalam pelbagai peranti digital seperti komputer tablet, telefon pintar dan fungsi keselamatan terkini. Dan akhirnya, pembangunan, membangunkan sistem yang mesra pengguna, yang berteknologi geografical information system dan alert notification. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan selama 20 minit.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani. 20 minit. (Dewan bertepuk.)

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Di kesempatan ini, patik mewakili seluruh rakyat DUN Parit Yaani dengan hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung kasih mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 serta sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat DUN Parit Yaani sentiasa mendoakan ke bawah Duli Tuanku serta seluruh kerabat diraja dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan.

Patik dan seluruh rakyat DUN Parit Yaani juga ingin merafakkan sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dipersembahkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Seluruh rakyat DUN Parit Yaani juga dengan hormat dan takzimnya merafak sembah mengucapkan setinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Johor yang telah membawa pasukan bola sepak JDT jauh di persada dengan kejayaan memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga mengulangi kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut dan insya-Allah dengan izin Allah kita sekali lagi menjulang Piala Malaysia 8 Disember ini. Dan malam ini pun kita sama-sama doakan delegasi dan juga pemain-pemain kita di Jepun akan memenangi Piala ACL.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak lupa di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pengurniaan Darjah SMIJ daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan juga pembentangan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2024 dengan tema “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”. Syabas juga kepada Yang Amat Berhormat yang telah memacu negeri Johor dengan prestasi yang cemerlang dan memperlihatkan Johor sebagai penyumbang terbesar

pelaburan dan perdagangan Malaysia mengatasi negeri-negeri lain. Insya-Allah dengan kekuatan dan semangat baru Yang Amat Berhormat akan terus maju memimpin negeri Johor Darul Ta’zim.

Sehubungan dengan itu, apa yang saya sendiri boleh gambarkan berkaitan dengan belanjawan pada kali ini khususnya pembahas-pembahas dalam masa dua hari ini rata-rata menyebut Johor Maju 2030. Tapi, saya ingin mengingatkan kita semua jangan setakat omong-omong kosong, macam nak buat, kena buat betul-betul. Kena buat sama-sama, kena kasi jadi. Jangan satu ketika dulu kerajaan seingat saya waktu itu saya masih sekolah rendah lagi, Yang Berhormat Datuk Speaker, sekitar tahun 90-an dibuatkan Wawasan 2020 ketika itu, daripada sekolah sampailah saya tiba 2020 panjang umur, Alhamdulillah, tak ada apa. Yang ada COVID.

Dan, hari ini, di Dewan yang mulia ini saya mohon kalau boleh apa pun pembangunan yang kerajaan rancang kena buat betul-betul, kena kasi jadi. Contohnya high speed rail ataupun kereta api laju yang sebelum ini dibatalkan oleh kerajaan pusat. Kalau kita lihat kenyataan akhbar pada tahun 2021, 29 Mac, pembatalan HSR Malaysia bayar pampasan lebih RM300 juta. Kemudian disebut di situ, pada 1 Januari lalu Perdana Menteri Malaysia dan Singapura dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350km ditamatkan. Kita rugi RM350 juta. Kalau kira RM350 juta tu macam-macam benda yang kita boleh buat. So, hari ini kita mohon peringkat kerajaan negeri bersama-sama dengan persekutuan kalau boleh diteruskanlah high speed rail itu kerana untuk menjelang Negeri Maju 2030 kemudahan pengangkutan awam ini begitu kira mendesak dan semoga dengan wujudnya kereta api laju tersebut dapat menghubungkan jalinan perdagangan ekonomi antara daerah-daerah di Johor Bahru, Batu Pahat dan juga daerah Muar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam belanjawan kali ini saya sangat tertarik dengan beberapa teras walaupun ada keseluruhannya 6 Teras, 29 Strategi dan juga 99 Inisiatif. Yang pertama, Teras Keempat, Kemudahan dan Keperluan Asas. Dalam strategi yang pertama, memperluas jaringan jalan raya dan juga perhubungan. Dalam inisiatif kedua iaitu pembinaan jalan serta jambatan negeri daerah Batu Pahat, ini daerah kita Yang Berhormat Datuk Speaker. Ada dua projek yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat, yang pertama adalah RM4.1 juta bagi membina laluan baru dari Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading. Alhamdulillah, ini sebenarnya isu besar di daerah Batu Pahat. Banyak Wakil Rakyat terlibat dan juga Ahli Parlimen dan juga ADUN. Terima kasih kepada kerajaan negeri yang dapat meneruskan projek tersebut. Dan, yang kedua ini RM5.4 juta bagi menaik taraf persimpangan Bindu dan jambatan di jalan Tongkang Pechah, Jalan Bindu, Batu Pahat. Alhamdulillah. Ini memang kawasan saya. Warga Parit Yaani khususnya di Tongkang Pechah pada hari ini merasa amat berterima kasih, bersyukur kepada kerajaan negeri kerana isu aliran trafik yang begitu sesak pada hari ini sedikit sebanyak dapat diselesaikan. Insya-Allah.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Teras Keempat juga ada inisiatif yang ketiga, Penyelenggaraan Jalan juga. Kerajaan negeri akan melaksanakan RM635 juta bagi penyelenggaraan jalan negeri, jalan PBT, jalan kampung dan jalan pertanian sepanjang 25,210km. Saya memohon agar kerajaan negeri memberi peruntukan sedikitlah kepada kawasan Parit Yaani yang mana sebenarnya di Mukim Linau, Batu Pahat itu dalam kawasan Parit Yaani terdapat sepanjang 111.920 km jalan pertanian. Jalan pertanian ini banyak yang rosak selepas banjir besar tempoh hari dan saya sangat-sangat berharap agar kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan ini.

Seterusnya, adalah Teras Kelima iaitu Teras Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar. Yang ini, isunya sebenarnya berkait dengan isu banjir. Bila cerita tentang banjir ini di kawasan apa ni, Parit Yaani, ada tiga jenis banjir. Banjir kilat, banjir termenung

dan juga banjir besar. Ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dah rasa semua. Daripada tahun lepas sampai tahun ini saya dah rasa semua. Ketiga-tiganya dah rasa.

Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat sekalian, dekat Dewan Negeri Johor ini ada dua je parit. N21, Parit Yaani dan juga N22, Parit Raja, sahabat saya. Dan, kita sebenarnya ada abang besar kita iaitu Parit Sulong. Hari ini kita ada Seri Medan wakil Parit Sulong. Kami ini Parit Raja dan Parit Yaani ni, apa-apa tunggu Parit Sulong. Kalau Parit Sulong tak selesai masalah memang kami pun tak akan selesai masalah, kalau isu banjir ni. Dan saya semalam ada berbual dengan Yang Berhormat Seri Medan juga berkaitan dengan banjir ini, banjir ni sebenarnya dia ada 3 segmen iaitu segmen sebelum, semasa dan selepas. Sebelum tu maknanya kita menghadapi pembukaan pusat-pusat pemindahan sementara, mengurus PPS awal, macam mana nak uruskan dia punya bekalan makanan, dia punya khemah dan sebagainya. Semasa tu memberi bantuan-bantuan seperti beras dan sebagainya. Dan, selepas inilah masalah selepas. Banjir dah selesai bulan Mac yang lepas tapi hari ini saya dimaklumkan di Batu Pahat masih ada lagi yang belum selesai menerima apa dipanggil Bantuan Wang Ihsan Banjir ataupun BWI. Ada yang merayu dan saya dapat makluman daripada RM2000.00 mungkin tak diturunkan tinggal RM1,000.00. Ha, ini kerajaan kena bertanggungjawab. Itu awal saya katakan tadi, kalau nak buat, buat betul-betul. (Dewan bertepuk.) Kasi jadi betul. Jangan kata nak bagi RM2,000.00 tinggal RM1,000.00. Marah orang kampung.

Kami ni daerah Batu Pahat, Yang Berhormat Seri Medan, Parit Raja semua ni boleh kata setiap kali malam, kalau ada hujan memang tidur pun tak tenteram. Memang itulah masalahnya. Sama juga YB Semarang pun dia senyum juga. Sama juga. Terima kasih Yang Berhormat Menteri Besar saya hari ini berpeluang berbahas ber apa ni Yang Berhormat ada sekali kan. Itulah, di kesempatan ini..

Speaker

Boleh ulang baliklah, yang tak bayar tu, ulang balik.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Itulah kalau boleh di kesempatan inilah saya pun kalau boleh nak mohon kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, habis je sidang Dewan ini, hari Ahad saya dengan orang kampung saya nak jumpalah. Walau dalam keadaan 15 minit ke 20 minit pun tak apa lah. Sekadar ingin mengucapkan terima kasih saya, warga Parit Yaani apabila projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya Batu Pahat telah pun selesai. (Dewan bertepuk.) Dan disambung semula peruntukan sebanyak RM15 juta Yang Berhormat. Kredit juga Yang Berhormat EXCO Johor Lama yang banyak membantu. Terima kasih banyak dan saya mohon kita sama-sama berdoa agar sekolah tersebut dapat terus diselesaikan dan dapat dioperasikan menjelang 2025. Negeri Maju 2030, ha kurang-kurang 2025 Parit Yaani dah maju sekejap. Kena seiring.

Seterusnya, berkenaan banjir tadi juga, hari ini tempoh hari belanjawan di peringkat pusat saya dengar ada peruntukan untuk membina pusat pemindahan kekal mangsa banjir. Saya kira ada 9 dan mungkin setiap PPK dipanggil pusat pemindahan kekal tu peruntukan sebanyak RM5 juta kalau tak salah sayalah. Dan saya mohon dalam Dewan ini supaya daerah Batu Pahat diberi kuota untuk membina Pusat Pemindahan Kekal tersebut. Tak kiralah di Sri Medan ke, di Tongkang Pechah ke, di Semarang ke tetapi yang penting di Batu Pahat. Insya-Allah, semoga ianya memberi sedikit sebanyak kelegaan kepada orang kampung di sana, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya teras yang keempat iaitu kemudahan dan keperluan asas dalam strategi yang ketiga menaik taraf kemasukan bekalan air dan tenaga. Ini dalam inisiatif yang kedua iaitu antara projek yang akan dilaksanakan oleh RSAJ ialah RM18.6 juta bagi menaik taraf agihan air Parit Sulong Batu Pahat yang akan memanfaatkan 18,000 pengguna domestik. RM165 juta bagi meneruskan projek penggantian paip lama di

negeri Johor yang melibatkan penggantian sepanjang 206 kilometer untuk memanfaatkan 170,000 pengguna. Yang ini, walaupun berada di Parit Sulong sebenarnya manfaatnya sama juga pada untuk orang Tongkang Pechah. Nama Tongkang Pechah ini orang kata boleh tukar nama, masa itulah, asyik paip pecah aje dia kata. Masalahnya, tiba-tiba setiap bulan mesti ada masalah paip pecah. Sampai suruh tukar nama Tongkang Pechah, tetapi saya dah buatkan mercu tanda baru pula, Armada Tongkang Pechah itu tak akan nak tukar paip pulak kan? Yang ini kalau boleh kerajaan negeri macam mana juga selesaikan masalah paip tadi itu.

Seterusnya, ini dah 16 minit ye? Saya ini nak bawa pasal Orang Muda Johor tetapi yang hal kawasan saya tak selesai lagi, tak apalah.

Ok, teras yang keenam adalah Orang Muda Johor. Pertamanya, aspirasi Orang Muda Johor. Di sini terdapat inisiatif RM1.5 juta bagi Program Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor dan program ini meliputi program jelajah usahawan, program gerak kerjaya dan sambutan Hari Belia Negara. Yang ini kalau boleh kita cadangkan di Dewan ini supaya program ini dibuat di peringkat DUN-DUN, setiap DUN. Sama juga konsepnya macam Sukan Bangsa Johor dan kalau boleh selesai peringkat DUN, buat satu kali di peringkat negeri, kena promosikan program ini. Kalau dahulu tahun 2006, ketika itu kita ada program JOM Centre, JOM itu, JOM itu Jumpa Orang Muda, jelajah satu Johor, buat semula, rebranding.

Ok, yang seterusnya berkaitan dengan Orang Muda Johor, inisiatif RM600,000.00 untuk Persatuan Mahasiswa IPT Anak Johor, yang ini semua ADUN dah pun menerima anak angkat daripada universiti yang terpilih, terima kasih kepada kerajaan negeri.

Seterusnya inisiatif Aktif Johor, RM1.1 juta bagi penganjuran Sukan Bangsa Johor melibatkan 56 kawasan DUN, yang ini yang saya cakap tadi, Sukan Bangsa Johor ini dah bertahun-tahun, dah ada brand Bangsa Johor dan saya minta kalau boleh di peringkat kerajaan negeri peruntukan tersebut memang tak mencukupi setiap DUN, RM20,000.00 dengan penganjuran yang banyak acara kan?

Speaker

Parit Yaani, tinggal 2 minit lagi.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Ok, sekejap. Kalau boleh kolaborasi dengan syarikat korporat ataupun macam di Melaka, kenapa kerajaan negeri boleh bersama dengan Mamee? Kalau kat tempat saya ada Hwa Tai, ada Hup Seng ada Munchy’s, mungkin kerajaan negeri boleh kolaborasi dengan syarikat-syarikat tersebut.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi ingin mengucapkan, sebelum terlupa dalam Teras Orang Muda Johor ini juga saya mohon agar dibina ataupun dinaik taraf sebenarnya ataupun dibaik pulih gelanggang-gelanggang futsal setiap DUN seperti mana Yang Berhormat Parit Raja ada sebut semalam. Yang ini masalah, semua ADUN masalah, gelanggang futsal ini semua dah tak boleh guna tetapi peruntukan tak ada, carilah kaedah macam mana kolaborasi dengan kerajaan persekutuan ataupun syarikat-syarikat GLC, bantulah naik taraf ataupun baik pulih gelanggang futsal. Dan saya sekali lagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor khususnya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar sendiri yang banyak membantu kawasan saya. Insya-Allah, saya doakan semoga Bajet 2024 ini dapat dijayakan dengan jayanya, insya-Allah. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker (Dewan bertepuk). Salam Semarak Parit Yaani, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Ngam 20 minit. (Dewan ketawa).

Speaker

Tahniah. Dijemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker yang disayangi, Alhamdulillah Gambir memanjatkan kesyukuran dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Mesyuarat Keempat Belanjawan 2024 Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 kali ini.

Sebelum meneruskan ucapan perbahasan, izinkan patik bagi rakyat DUN Gambir merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor dan setinggi-tinggi tahniah sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor sepanjang Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17 nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker yang disanjungi, Gambir mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor yang amat disanjungi, pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Dato’. (Dewan bertepuk). Sesungguhnya, kurniaan darjah tersebut mencerminkan pengiktirafan dari Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap kecemerlangan pentadbiran dan seharusnya menjadi azimat untuk terus mengekalkan momentum agar misi dan visi menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang maju 2030 dapat dicapai.

Gambir juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah di atas pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang sekali lagi mencatatkan lebihan untuk dua tahun berturut-turut. (Dewan bertepuk). Belanjawan Johor 2024 ini yang bertemakan, “Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat” dilihat begitu komprehensif dan seboleh mungkin mencakupi segenap kawasan dan kelompok masyarakat. Terima kasih juga untuk beberapa pengumuman penting untuk daerah Tangkak yang pastinya memberikan khabar berita gembira kepada kami khususnya di DUN Gambir.

Yang Berhormat Datuk Speaker yang kacak, segak dan bergaya, Gambir menyanjung tinggi..

Speaker

Masa tak tambah ya, 20 minit juga. (Dewan ketawa).

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Gambir menyanjung tinggi usaha Kerajaan Negeri Johor yang begitu beriltizam dan bertekad membantu rakyat dan menumpukan usaha bersepadu dalam mengekang peningkatan kos sara hidup yang menekan rakyat. Keprihatinan dan kesungguhan kerajaan dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta yang antara lainnya diperuntukkan untuk Program Jualan Kasih Johor di bawah Teras Ketiga Jaringan Keselamatan Sosial membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional ini benar-benar bekerja untuk rakyat. (Dewan bertepuk). Kerajaan Barisan Nasional ini benar-benar merasai keperitan rakyat dan kerajaan ini benar-benar ikhlas bekerja untuk rakyat.

Dan ini adalah merupakan impak daripada kestabilan politik yang dihadirkan oleh rakyat ketika Pilihan Raya Negeri Johor 2022 yang lalu. Jualan Kasih Rakyat ini yang memberikan subsidi kepada harga barang yang akan menyebabkan pengurangan harga yang signifikan terutamanya menjelang musim perayaan di 300 lokasi ini diharap dapat memberi manfaat kepada 800,000 orang penerima sepanjang tahun 2024. Cumanya, Yang Berhormat Datuk Speaker di negeri Johor ini kalau saya tidak silap terdapat tiga progam jualan seperti ini, pertamanya Jualan Rahmah oleh kerajaan pusat, keduanya Jualan Kasih Johor ini dan yang

ketiganya Bazar Rakyat Agro Johor. Jadi, saya harap ianya dapat diselaraskan supaya dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai masyarakat pengguna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan kos sara hidup ini merupakan isu yang sering diperkatakan sejak zaman berzaman, tahun bertahun, tidak kiralah parti mana yang memerintah. Dahulu kita terangkan kenaikan harga barang ini tiada kena mengena dengan pemerintahan siapa, tetapi rakyat terus diperdaya dengan ekonomi BN, “Barang Naik”, terus dipropagandakan dengan pelbagai nama dan gelaran. Negara kini telah ditadbir oleh tiga gabungan besar dalam negara, adakah kita dengar mana-mana gabungan pernah mengisytiharkan kos sara hidup telah diturunkan dengan cemerlang, gemilang dan terbilang oleh mana-mana gabungan parti Yang Berhormat Datuk Speaker? Tidak pernah Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ulang tidak pernah diisytiharkan sedemikian rupa. Lalu hari ini saya menyeru kepada seluruh Bangsa Johor, usah lagi terpedaya dengan propaganda-propaganda begitu.

Setiap gabungan parti telah dikurniakan kesempatan oleh Allah untuk mentadbir negara Malaysia tercinta ini dan natijah pemerintahan mereka, peningkatan kos sara hidup masih belum ada satu penyelesaian yang tuntas. Menyedari tentang hakikat harga barang dan kos sara hidup sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kuasa pasaran, maka intervensi kerajaan Johor selaku kerajaan yang sangat bertanggungjawab dan prihatin dengan adakan Jualan Kasih Johor ini adalah sangat-sangat kita puji dan kita alu-alukan. Inilah kerajaan yang telah menunaikan amanah dan kewajipannya dalam menjaga kebajikan dan prihatin tentang nasib rakyat.

Di samping usaha intervensi untuk mengekang kenaikan kos sara hidup ini juga, Gambir ingin melihat bagaimana Johor pada hari ini dapat menumpu kepada soal peningkatan taraf hidup rakyat. Kos sara hidup dan taraf hidup rakyat adalah dua frasa perkataan yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Kos sara hidup adalah kos yang ditanggung oleh isi rumah untuk memenuhi keperluan asas mereka, manakala taraf hidup mengukur perbandingan antara pendapatan boleh belanja yang diterima dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan pada kadar yang lebih rendah berbanding kos sara hidup, maka taraf hidup seseorang dikatakan merosot dan begitu juga sebaliknya. Dan kegagalan kerajaan dalam menyeimbangkan antara peningkatan kos sara hidup dan peningkatan taraf hidup memberi implikasi yang besar kepada rakyat yang mana ianya memberi kesan buruk kepada psikologi, sosial, keselamatan dan pengangguran. Maka, Gambir dengan ini mengalu-alukan cadangan kerajaan yang secara serius meletakkan peningkatan ekonomi dan taraf hidup di Teras Ketiga bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat bagi menyeimbangkannya dengan kos sara hidup. Perkara yang penting dalam menangani kos sara hidup adalah pendapatan isi rumah dan bukannya harga barangan. Pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2024 seperti Program Reskilling, Upskilling, bantuan usahawan, memberdayakan wanita dan OKU diharap dapat menjadi jawapan dalam meningkatkan penglibatan pendapatan dan sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker yang penuh karisma, Gambir dengan penuh rasa rendah diri ini juga ingin menyeru kepada semua pihak agar berganding bahu dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat agar tidak terus terbeban. Cukup-cukuplah kita dengan retorik politik yang sempit. Menuding tangan ke sana ke sini sedangkan isu ini adalah isu bersama menjangkaui sempadan politik. Kerajaan juga diharap agar lebih tegas dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan mengutamakan keperluan rakyat. Usaha untuk meningkatkan tahap persaingan dan menghapuskan kuasa monopoli serta pembentukan kartel mesti dibuat sepanjang masa bukan bila ada kenaikan harga barangan sahaja. Produktiviti sektor pertanian mesti juga ditingkatkan dengan amalan pertanian dan penerapan teknologi moden. Saya percaya ini semua telah banyak kali di bincang dan diputuskan terutama di peringkat nasional, malangnya belum nampak hasilnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker yang cukup baik budi pekerti. Selain individu dan kerajaan, terdapat satu lagi badan yang dapat membantu mengekang dan mengurangkan peningkatan kos sara hidup ini iaitu Koperasi. Bilangan anggota koperasi yang mungkin lebih kurang 1/4 atau 1/5 dari populasi negeri dapat di percayai dapat mempengaruhi penawaran dan permintaan barang-barang pengguna dalam pasaran. Ini menunjukkan kuasa gerakan koperasi dapat memberi kesan kepada harga barangan pengguna dalam pasaran. Kerajaan juga di saran supaya dapat menyediakan pakej insentif kepada koperasi bagi memperkasakan peranan koperasi dalam perdagangan dan pengedaran di mana ia berupaya untuk menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna dalam mengimbangi kos sara hidup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan mesti mempunyai kerangka yang jelas dan betul dalam perekonomiannya.Ia mesti dirasai oleh rakyat. Semoga semangat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk menangani masalah rakyat dapat direalisasikan. Pastikan punca permasalahan itu ditangani bagi penyelesaian yang mampan. Gambir melihat bahawa kos sara hidup dan juga ini adalah berkait rapat dengan isu keterjaminan makanan. Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan EXCO nya kerana dalam belanjawan baru-baru ini telah menekankan tentang iltizam dan komitmen kerajaan negeri untuk menjadi negeri Johor ini sebagai food bank. Bukan sahaja untuk negeri, malah untuk negara Malaysia yang tercinta ini.

Sebelum pergi jauh dalam perbahasan mengenai isu ini, Gambir ingin mengingatkan bahawa menyediakan akses makanan asas kepada rakyat keseluruhannya adalah amanah yang begitu besar bagi kerajaan kerana makanan adalah keperluan asas bagi kelangsungan hidup manusia. Kerajaan mestilah memberi penumpuan kepada golongan yang mengusahakan makanan mentah ini, siapakah mereka? Pesawah-pesawah padi yang bergelumang dengan lumpur, pekebun-pekebun sayur yang berpanas hujan, peladang-peladang yang bermandi peluh, penternak-penternak yang tidak menghiraukan keharuman aroma dari kandang dan reban serta nelayan-nelayan yang tidak pernah gentar berhadapan lautan gelora. Dari sudut kekuatan nasional keutamaan profesion ini adalah seperti tentera yang menjaga keamanan negara. Sedang golongan yang saya sebutkan ini tadi berusaha keras pada setiap hari menghasilkan makanan menjadi jalan memelihara nyawa setiap manusia. Justeru, golongan ini perlu dibela dan diangkat kedudukan mereka sesuai dengan jasa mereka kepada negeri dan negara. Terima kasih kepada pesawah padi. Terima kasih kepada pekebun sayur, petani, penternak dan peladang yang terus gigih menghasilkan bekalan makanan untuk negeri Johor yang tercinta ini.

Keterjaminan makanan adalah amat penting dan menjadi kritikal apabila kadar permintaan pengguna melebihi apa yang ditawarkan oleh pembekal. Punca utama keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh faktor cuaca atau bencana alam, tetapi juga disebabkan oleh belian panik menyebabkan barang makanan berkurangan di pasaran yang mana pada masa yang sama mengakibatkan kenaikan harga. Malah suatu menyedihkan juga keadaan ini bertambah teruk apabila ada kartel-kartel tertentu yang menyorokkan barangan keperluan asas seperti minyak masak dan beras atas dasar dan jurang untuk memanipulasikan harga barangan dan memberikan imej yang buruk kepada kerajaan.

Gambir ingin mencadangkan agar kerajaan melihat, supaya dapat melihat kepada satu cadangan membangunkan sistem maklumat pengurusan keterjaminan makan bersepadu negeri Johor bagi membantu kerajaan memantau dan membuat keputusan yang baik dan lancar bagi menjamin bekalan makanan negeri. Sistem ini jika dapat dibangunkan di negeri-negeri Johor ini pastinya dapat bertindak sebagai tulang belakang operasi keterjaminan makanan negara disambungkan kepada sistem maklumat geografi dan ramalan cuaca sekali gus mampu membantu pesawah, petani dan peladang memantau hasil tanaman secara moden berpandukan sistem pintar. Di samping dapat meningkatkan kualiti pengeluaran berbanding dengan hasil tanaman secara konvensional. Gambir juga

mencadangkan agar pihak kerajaan, agar pihak kerajaan negeri melihat untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana tanah yang telah diberi milik dengan syarat pertanian atau sawah padi tetapi telah diusahakan dengan tanaman lain. Hal ini jika dibiarkan boleh menyebabkan ia semakin berleluasa dan akhirnya menyukarkan hasrat murni kerajaan dalam usaha menjadi food bank kepada negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Bajet Johor 2024 yang dibentangkan telah menzahirkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan negeri tercinta ini menuju Maju Johor 2030. Sewajarnya kemajuan yang dicita-citakan harus menepati keperluan dan kehendak rakyat. Kemajuan yang ingin dicapai itu tidak harus meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat dan yang paling penting kemajuan dan pembangunan itu harus dirasai manfaatnya, harus dilihat hasilnya, harus memberi pulangan semula kepada rakyat. Gambir dengan konsisten sejak penggal ini dibuka pada Jun 2023 yang lalu menekankan bahawa daerah Tangkak sebuah daerah kecil yang berada di hujung utara Johor harus dibangunkan secara komprehensif dan bersepadu oleh Kerajaan Negeri Johor. Apakah kami di hujung utara Johor ini hanya menjadi penyaksi kepada segala macam pembangunan dan kemajuan di daerah lain? Apakah kami yang berada di kejauhan sana hanya bertaraf pemerhati? Melihat segala macam pelaburan di tempat lain? Apakah nanti akhirnya gurauan halaman belakang Melaka benar-benar menjadi satu kenyataan dan realiti? Mujurlah Yang Berhormat Datuk Speaker kami masih mempunyai Gunung Ledang dan lagenda puterinya.

Gambir mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala peruntukan-peruntukan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ dalam pembentangan bajet baharu-baharu ini. Sebanyak RM2.8 juta untuk menaik taraf kemudahan dan membina baru canopy roof serta RM600,000 lagi untuk meningkatkan kemudahan sistem pembetung di kawasan penginapan.

Gambir berpendapat jika benar mahu majukan sektor pelancongan di Tangkak, lakukanlah bersungguh-sungguh, lakukanlah, laksanakan lah dengan penuh perancangan yang komprehensif, bersepadu dan menyeluruh. Jaringan pengangkutan daratnya bagaimana? Kemudahan penginapannya bagaimana? Bagaimana pula dengan penyertaan masyarakat desa, masyarakat kampung dalam mengambil bahagian dengan kepesatan pembangunan Gunung Ledang? Kalau perlu pinjam duit di peringkat ke kerajaan persekutuan, pinjamlah. Asalkan daerah pelancongan Tangkak ini benar-benar menjadi sebuah daerah pelancongan yang kita mimpikan. Saya tidak mahu kehendak dan kemahuan kerajaan negeri dalam membangunkan daerah Tangkak sebagai daerah pelancongan dibantutkan dengan kelemahan pelaksanaan. Kita mahu rakyat merasainya dan kita mahu rakyat mendapat faedah dari program yang telah pun, pelancongan yang telah pun diuar-uarkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat sentiasa mendapat hasil dari lonjakan pertumbuhan dalam sektor ekonomi turut diterjemahkan melalui pengumuman-pengumuman menggembirakan dalam Teras ke-4 iaitu Kemudahan dan Keperluan Asas. Dalam menjayakan misi dan visi menuju negeri, Negeri Maju 2030 Gambir melihat bahawa pengumuman sebanyak RM331.2 juta yang dijadikan tumpuan untuk rawatan bekalan air bersih dan terawat di negeri Johor adalah satu peruntukan yang cukup besar dan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Walau bagaimanapun, Gambir merasa terkilan kerana dalam pembentangan belanjawan ini tidak langsung dimasukkan peruntukan untuk mengatasi masalah air yang kerap berlaku dan terganggu di DUN Gambir dan semakin parah apabila sampai musim perayaan. Isu ini beberapa kali telah pun Gambir bangkitkan dan mohon Yang Amat Berhormat Menteri Besar ataupun EXCO yang berkenaan dapat memberikan penjelasan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sedikit isu kawasan. Pertamanya adalah klinik kesihatan Bukit Gambir, klinik ini telah beroperasi sejak 1955. Memberi perkhidmatan kepada 40,000 orang di bawah kawasan operasi klinik. Dan kedudukan klinik ini yang berada betul-berul

ditepi jalan besar Bukit Gambir serta keadaan geografinya yang berbukit sangat-sangat tidak kondusif tiada ruang meletak kenderaan yang mencukupi, cukup-cukup untuk staff dan kakitangan. Keadaan ini benar-benar...

Speaker

Ok. Tinggal 2 minit.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Keadaan ini benar-benar mewujudkan rasa tidak selesa kepada pesakit Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya mohon agar kerajaan negeri dapat memperjuangkan semoga permohonan menaik taraf klinik ini kepada pembinaan baharu klinik kesihatan jenis 3 dapat disegerakan. Ia merupakan isu tempatan yang menjadi polemik di DUN Gambir khususnya.

Yang keduanya adalah perumahan Rumah Mampu Milik Johor di Sagil. Projek ini telah dicadangkan untuk dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebuah syarikat GLC telah dipertanggungjawabkan untuk membinanya. Majlis pecah tanah projek ini telah pun disempurnakan pada tahun 2017 oleh Menteri Besar pada ketika itu. Projek ini sepatutnya dimulakan pada tahun 2019, kerja-kerja awal telah pun dilaksanakan, tetapi ianya tidak diteruskan kerana hasil daripada jawapan dari soalan bertulis oleh Yang Berhormat EXCO menyatakan keseluruhan tanah hanya akan dibangunkan dengan komponen RMBJ, Rumah Mampu Biaya Johor dan ianya akan mengalami defisit kerugian yang tinggi yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tidak dapat menerima alasan sebegini. Pada ketika rakyat memerlukan pembelaan dan keprihatinan kerajaan untuk mencari tempat berteduh, menyediakan ruang untuk keluarga tinggal dan meneruskan kehidupan, pada ketika hati rakyat berbunga mendengar khabar projek ini akan dilaksanakan, menggunung harapan rakyat tersenyum lebar menyaksikan majlis pecah tanah dilakukan. Tiba-tiba hari ini ranap dengan perkhabaran projek tidak dapat diteruskan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai Wakil Rakyat DUN Gambir saya sangat mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM56 juta untuk membina sebanyak 147 unit residensi Bangsa Johor di daerah Tangkak. Dan, saya ingin memohon, merayu simpati Kerajaan Negeri Johor agar menjadikan tapak tanak di Sagil ini sebagai tapak untuk projek residensi Bangsa Johor ini dengan syarat harga yang ditawarkan adalah harga yang mampu milik. Satu isu sikit, sikit lagi Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baharu-baharu ini juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah membentangkan dalam belanjawan bahawa kerajaan beriltizam untuk menjadikan Johor sebagai Hab Sukan antarabangsa. Antaranya adalah dengan membina 5 buah futsal di Iskandar Puteri yang berstatus ataupun berspesifikasi FIFA. Saya menyokong usaha tersebut, kita harap ianya dapat direalisasikan walau bagaimanapun Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merayu pertimbangan dan jasa baik Menteri Besar Johor untuk mempertimbangkan sekurang-kurangnya di DUN Gambir ini dapat dinaik tarafkan satu gelanggang futsal berbumbung, supaya ianya memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang muda kita untuk beriadah dan berekreasi.

Speaker

Masa tamat Yang Berhormat.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Akhir kata Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penjawat-penjawat awam yang telah pun memberikan khidmat dan bakti yang baik di DUN Gambir. Semoga kita mampu lagi untuk merealisasikan hasrat kita menuju kepada sebuah negeri maju menjelang 2030. Akhir kata, Gambir mohon untuk menyokong. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Gambir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Negeri Johor mengalu-alukan kehadiran 29 orang pemerhati daripada Pejabat Daerah Muar. (Dewan bertepuk). Saya jemput Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan Selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam demikian juga limpahan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW semoga kita semua mendapat syafaat dan rahmat kelak. Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya patik mewakili warga DUN Pasir Raja merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa kepada ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat Di Raja dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah. Patik juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan bola sepak JDT memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga menjuarai Liga Super sepuluh kali berturut-turut. Adalah menjadi kebanggaan Bangsa Johor di atas pencapaian pasukan JDT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor, Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Dato’. Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan kepada segala daya usaha Yang Amat Berhormat dalam memacu Johor menjadi negeri yang maju dan stabil.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana diberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk menyuarakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus dan turut serta mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan kali ini. Seperti firman Allah di dalam surah Al-Kahfi ayat 84 yang bermaksud “Sesungguhnya kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami berikan kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya”. Mudah-mudahan apa yang dibahaskan ini dapat diterjemahkan dengan komitmen kita semua agar dapat memberi manfaat dan melakukan yang terbaik buat Johor dan khususnya buat warga DUN Pasir Raja. Beras segantang sudah disukat, lalu disimpan di atas para, andai seluruh masyarakat muafakat, negeri damai rakyat sejahtera. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan tahniah buat Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pembentangan Belanjawan 2024 yang bertemakan Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat dengan memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.163 bilion bagi melaksanakan 6 Teras, 29 Strategi dan 99 Inisiatif. Pasir Raja juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada yang Berhormat Tenggaroh, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor dan Yang Berhormat Buloh Kasap, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang telah sudi datang bertandang dan memenuhi jemputan Pasir Raja di dalam lawatan ke tapak pelancongan dan pertanian DUN Pasir Raja. Terima kasih juga Pasir Raja berikan kepada Yang Berhormat Yong Peng, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor kerana sama-sama turut serta di dalam lawatan mengejut di Hospital Kota Tinggi.

Untuk makluman Ahli Dewan sekalian, Pasir Raja telah menerima banyak aduan di Hospital Kota Tinggi hinggakan ia menjadi viral di laman media sosial. Alhamdulillah berkat lawatan tersebut semalam, Dewan yang mulia ini, telah dimaklumkan bahawa RM24,977,500.50 telah diperuntukkan bagi membina Klinik Kesihatan Kota Tinggi jenis 3. Ini bertepatan dengan Teras ke-3 Jaminan Keselamatan Sosial, strategi ke-3 meningkatkan kualiti

kesihatan Bangsa Johor. Semoga ianya sedikit sebanyak mampu mengatasi masalah di Hospital Kota Tinggi, Insya-Allah. Terima kasih juga di atas baik pulih Klinik Kesihatan FELDA Bukit Besar.

Pasir Raja juga ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Yang Berhormat Johor Lama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor di atas keprihatinan dan komitmen beliau mengatasi masalah pencapaian jaringan internet dan komunikasi di dalam DUN Pasir Raja dengan terbinanya pencawang di kawasan FELDA dan kampung seperti yang telah dijanjikan. Pasir Raja yakin dengan ciri-ciri khidmat bakti begini, kita sama-sama dapat menjaga kesejahteraan Bangsa Johor bersesuaian dengan tema Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Teras ke-2 Pembangunan Ekonomi, Inisiatif ke-3 iaitu Keterjaminan Bekalan Makanan sebanyak RM12.8 juta diperuntukkan bagi meningkatkan produktiviti industri agro makanan dan merancakkan aktiviti eksport buah-buahan berpotensi. Sektor pertanian yang merangkumi perladangan dan penternakan adalah penting untuk menjamin bekalan makanan yang cukup untuk rakyat. Sektor ini juga penting untuk membangunkan kawasan-kawasan pendalaman. Sektor pertanian sering dijadikan sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa banyak impak positif kepada para petani sendiri. Sektor ini juga mampu menjana pendapatan besar kepada negeri Johor. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil boleh menjadi penyambung rezeki. Kesimpulannya semua impak positif yang dihasilkan melalui sektor pertanian menunjukkan betapa pentingnya sektor ini. Oleh yang demikian Pasir Raja mencadangkan agar permohonan pinjaman bank kepada petani-petani yang pernah membuat pinjaman dan mempunyai rekod bayaran yang konsisten tidak perlu lagi ada cagaran seperti yang berlaku sekarang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli Dewan, projek pembangunan Johor Eco Entertainment Park atau JEEP bertempat di Bandar Akademik Yayasan Pelajaran Johor Kota Tinggi yang bernilai RM2.7 bilion adalah merupakan salah satu cadangan projek mega yang dicadangkan oleh Pentadbiran kerajaan terdahulu yang berada di dalam kawasan DUN Pasir Raja semasa pembentangan Bajet 2018. Projek ini berupa sebuah taman tema bercirikan ekotropika, pembelajaran alam sekitar dan hiburan 3E, environment, education dan entertainment yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Namun demikian Dewan yang mulia ini dimaklumkan bawah butiran mengenai projek ini tiada dalam makluman pihak Tourism Johor. Justeru itu projek ini telah dibatalkan. Oleh yang demikian, Pasir Raja mencadangkan agar tapak projek Johor Eco Entertainment Park dijadikan sebagai kawasan perindustrian yang baru memandangkan kawasan perindustrian sedia ada seperti Kulai dan Skudai yang berdekatan sudah terlalu padat dan sesak. Ianya juga sangat sesuai kerana lokasinya berhampiran dengan lapangan terbang dan kemudahan jalan raya dan lebuh raya. Kita sedia maklum akan lambakan graduan yang masih tidak mempunyai kerja. Dengan pembinaan kawasan perindustrian yang baru ini secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada mereka dan warga setempat. Selain itu ia juga dapat memudahkan para pelajar Yayasan Pelajaran Johor bagi menjalani latihan praktikal di kawasan perindustrian itu yang berkaitan dengan pembelajaran yang diambil.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Teras ke-3, Jaringan Keselamatan Sosial, Inisiatif Ke-3 iaitu Jualan Kasih Johor. Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi pemberian subsidi harga barang. Dalam mendepani abad ke-21 ini rakyat lebih cakna terhadap isu kewangan yang saban hari semakin membebankan. Salah satu topik yang menjadi bualan orang ramai iaitu isu kenaikan harga barang. Bagi mereka yang kurang berpengetahuan mereka akan menyalahkan pemimpin dan menjadikan perkara ini isu politik. Sedangkan pelbagai faktor yang mengakibatkan kenaikan harga barang. Berlakunya inflasi dan krisis ekonomi di peringkat global merupakan salah satu faktor penyebab kenaikan harga barang. Oleh yang demikian Pasir Raja berharap Inisiatif ke-3 di bawah Teras ke-3 Jaringan Keselamatan

Sosial iaitu Jualan Kasih Johor sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat bagi menghadapi kekangan kenaikan harga barang ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Teras ke-4, Kemudahan dan Keperluan Asas, Inisiatif Ke-4 memperluas jaringan jalan raya dan perhubungan. Sebanyak RM5.6 juta diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan. Pasir Raja memohon agar pemasangan lampu jalan dapat dilaksanakan di beberapa kawasan di dalam DUN Pasir Raja kerana keadaan di kawasan-kawasan tersebut terlalu gelap dan membahayakan pengguna jalan raya. Untuk makluman Ahli Dewan kemalangan jalan raya sering berlaku di FT003 kerana kawasan ini sangat gelap dan jalan yang bergelombang. Di dalam DUN Pasir Raja, kawasan-kawasan yang memerlukan pemasangan lampu jalan ialah di simpang Kulai hingga ke PULADA, di simpang Kulai hingga simpang Orchard, di FELDA Pasir Raja hingga ke FELDA Sungai Sayong, di FELDA Sungai Sayong hingga ke simpang Inas. Besarlah harapan Pasir Raja agar permasalahan ini dapat perhatian bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di kawasan-kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Teras ke-5 Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar, Strategi Ke-4 menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir Johor. Saban tahun beberapa kawasan di dalam DUN Pasir Raja pasti di landa banjir terutama apabila musim tengkujuh. Lantaran ini pelbagai strategi pengurusan banjir dan persediaan awal menghadapi banjir telah diterapkan. Pasir raja menyarankan agar keselamatan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu diambil kira dan dititikberatkan. Sementara pemantauan terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan perlu diutamakan supaya tidak berlaku pencabulan atau sebagainya seperti mana yang telah diviralkan di media sosial baru-baru ini. Tidaklah Pasir Raja mahu mangsa-mangsa ini menjadi trauma apabila berlaku banjir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah Teras ke-6 Orang Muda Johor, Strategi ke-6 membina dan menaik taraf pusat rekreasi dan sukan. Sebanyak RM8.8 juta telah diperuntukkan bagi memastikan kemudahan sukan pusat rekreasi dan permainan dalam keadaan baik. Johor telah meluaskan kuasa dalam arena sukan negara menerusi kejayaan sebagai juara keseluruhan buat kali pertama di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 apabila mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa. Untuk mencapai kecemerlangan di dalam bidang sukan ini bukanlah satu impian yang agak mudah dicapai. Oleh itu satu perubahan perlu diambil dalam mencorakkan masa depan sukan di Johor. Pilihan sukan olahraga merupakan satu sukan berprestij dan selalu menjadi tumpuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketandusan atlet olahraga berkualiti menjadi rangsangan untuk Pasir Raja mencadangkan pembinaan trek olahraga yang bermutu tinggi di padang asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab.

Pasir Raja memohon agar padang asrama ini dinaik taraf sebagai mini stadium bagi memberi kemudahan sukan olahraga. Dengan adanya kemudahan ini boleh menampung kehendak-kehendak latihan dan penyediaan pasukan bukan sahaja untuk sekolah ini malah keseluruhan sekolah di dalam DUN Pasir Raja khasnya dan keseluruhan sekolah dalam daerah Kota Tinggi amnya. Di mana setakat ini tiada satu pun kemudahan trek olahraga sintetik dalam daerah Kota Tinggi yang mengandungi 12 buah sekolah menengah dan 29 buah sekolah rendah. Dan, seterusnya berkeupayaan untuk mengelola kejohanan olahraga yang lebih sempurna. Pasir Raja pernah menyuarakan cadangan ini pada sidang belanjawan yang lepas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak keluk ke penarik, keluk tumbuh pohon kuini, nan elok bawalah balik, yang tak elok tinggallah di sini. Kita yang berada dalam Dewan ini adalah Wakil Rakyat dan ada tanggungjawab untuk menyuarakan apa yang terbaik untuk rakyat. Belanjawan Johor 2024 telah menyediakan keperluan-keperluan rakyat secara menyeluruh demi kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri Johor. Akhir kata diharapkan

kerajaan terbuka hati menerima segala cadangan yang diberikan agar ianya mampu menambah baik supaya rakyat kekal percaya kepada kerajaan negeri yang memerintah. Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pasir Raja mohon menyokong. Sekian terima kasih.

Speaker

Terima kasih Pasir Raja. Dijemput, Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Alhamdulillah segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan perkenanNya jua rakyat dan Negeri Johor Darul Takzim yang bertuah ini terus disirami rahmat dan kesejahteraan. Senggarang ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk bersama-sama membahas mengenai belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada minggu yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Senggarang meneruskan bicara izinkan Senggarang menzahirkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November baru-baru ini. Didoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa beroleh keafiatan, dilimpahi kerahmatan dan keampunan Allah SWT serta dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk terus memayungi negeri Johor Darul Ta’zim yang tercinta ini.

Pada hari ini yang dimohon keberkatan ini juga, Senggarang dengan penuh hormat dan takzim merafakkan sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas pemilihan Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula 31 Januari 2024. Senggarang dan kami semua mendoakan agar Tuanku dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menaungi sekalian rakyat. Semoga institusi Diraja terus berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.

Senggarang juga mendoakan Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Raja Johor. Semoga Tunku dapat menjalankan tugas dengan baik, adil dan saksama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang turut merakamkan ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan bola sepak JDT telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga menjuarai Liga Super, 10 kali berturut-turut. (Dewan bertepuk). Semoga kejayaan ini akan berterusan dan terus dapat melakar sejarah baharu di masa akan datang. Ucapan tahniah Senggarang ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor yang amat disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang membawa gelaran Dato’, tahniah. Juga sekali lagi diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana telah membentangkan Belanjawan 2024. Menjadikan satu belanjawan yang amat prihatin kepada pembangunan negeri, manakala setiap golongan khasnya mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan di setiap pelosok dan kawasan dalam negeri Johor tidak terkecuali untuk diberikan perhatian. Berdasarkan Belanjawan 2024 yang bertemakan Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat ditunjangi enam teras, 29 strategi, 99 inisiatif. Senggarang percaya, belanjawan ini sememangnya eksklusif, komprehensif dan sejahtera untuk rakyat di negeri Johor Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum meneruskan ucapan ini, Senggarang mengucapkan syukur dan terima kasih untuk ke sekian kalinya kerana Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah menyerahkan semula penyeliaan, penyelenggaraan

dan pembersihan parit yang terletak di kawasan pertanian di kampung-kampung kepada pihak pentadbiran kampung JPKK di samping adanya penyeliaan daripada pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS). Semoga masalah banjir yang berpunca dari parit-parit yang tidak di selenggara dengan baik dapat diatasi dan dikurangkan. Senggarang juga mengucapkan terima kasih kepada JPS kerana telah menyelesaikan kerja-kerja pembersihan dan penggalian parit yang terdapat di kampung-kampung khususnya di kawasan Senggarang bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang memberi fokus kepada teras kelima iaitu berkenaan keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor begitu tinggi agar ia menjadi keutamaan. Namun, apa yang lebih penting ialah tadbir urus yang melibatkan pelbagai agensi yang bertanggungjawab perlu menggembleng tenaga merealisasikan 4 strategi dan 11 inisiatif untuk memastikannya agar dilaksanakan pada tahun 2024.

Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan dengan mewujudkan strategi keempat di bawah teras ini iaitu menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir di Johor. Senggarang amat tertarik dengan inisiatif 1 di bawah strategi keempat ini iaitu berkenaan menaik taraf sistem saliran. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana penaiktarafan saliran akan dilaksanakan. Meskipun ianya bakal dilaksanakan secara berfasa, namun bagi fasa pertama Senggarang berharap agar limpahan peruntukan sebanyak RM18.9 juta bagi menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir dalam kerja-kerja berkaitan pengairan, pengawalan hakisan dan pencegahan banjir dapat dirasai oleh penduduk khususnya di DUN Senggarang. Meskipun, peruntukan ini kecil dan pastinya tidak dapat menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh di Senggarang khususnya, namun ianya menunjukkan kesungguhan dan komitmen pihak kerajaan negeri meminimumkan kesan masalah banjir ini. Senggarang amat berharap agar peruntukan yang lebih dapat dipohon kepada kerajaan persekutuan bagi mengatasi masalah ini. Jika tidak, Senggarang percaya masalah ini pasti akan berlarutan setiap tahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Senggarang juga berharap agar satu kajian dapat dijalankan dengan menyeluruh agar kejadian benteng pecah dapat diatasi. Ini disebabkan terdapat beberapa kawasan di DUN Senggarang seperti di Kampung Sungai Ayam, Kampung Sungai Suloh, Tanjung Laboh Kelicap dan Parit Jabar sering berlakunya masalah benteng pecah. Contohnya yang berlaku di Kampung Sungai Ayam dalam tempoh satu tahun lebih, lebih kurang tiga hingga empat kali kejadian benteng pecah berlaku di tempat yang sama. Kos bagi membaiki benteng yang pecah ini yang berukuran 10 meter, satu lubang sahaja telah memperuntukkan berjumlah hampir RM20,000.00 hingga RM25,000.00. Bayangkan jika benteng yang pecah tersebut 10 kali ganda panjang daripada jumlah tersebut. Sepertimana yang terjadi di Kampung Parit Jabar, Senggarang. Berapakah jumlah yang terpaksa pihak JPS dan kerajaan keluarkan? Sudah tentu melebihi ratusan ribu ringgit.

Begitu juga halnya yang berlaku di Kampung Tanjung Laboh Kelicap. Benteng kecil dan tidak lebar pada awal bulan Januari 2023 yang lalu telah pecah dan berjaya dibaiki. Malangnya pada akhir April 2023, benteng tersebut telah pecah semula dan setelah dibaiki, hal yang sama juga berlaku pada bulan Julai dan dibaiki lagi. Berapakah jumlah yang terpaksa dikeluarkan untuk membaiki benteng pecah tersebut yang berulang-ulang kali? Oleh sebab yang demikian, Senggarang sangat berharap agar satu kajian yang menyeluruh dapat dilaksanakan. Jika tidak, kerajaan akan melakukan pembaziran yang banyak hanya mengatasi perkara yang sama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang juga berharap kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim menambah peruntukan kepada pihak JPS bagi kerja-kerja membina dan menyelenggara

jambatan di kampung-kampung khususnya. Ini berikutan terdapat beberapa jambatan di kawasan Senggarang yang rosak dan mendak kecil iaitu seperti di Parit Kasih. Struktur tiang jambatan berkenaan yang retak perlu diganti ataupun dibina semula. Selain itu, Senggarang juga berharap agar jambatan ke Kampung Parit Kadir Darat perlu dinaik taraf. Penambahan serta pelebaran disebabkan jambatan sedia ada terlalu kecil sedangkan jambatan berkenaan merupakan jambatan utama bagi menghubungkan ke beberapa kampung dan Jalan Parit Hamid, Parit Botak J009.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ini projek KEMAS Datuk Speaker. Projek Rakan Kebun SKoD telah diperkenalkan untuk membantu isi rumah meringankan beban kos sara hidup dengan cara mengeluarkan sendiri bahan makanan melalui bimbingan agensi yang berkaitan. Penyertaan dari sukarelawan SKoD dan komuniti desa boleh menambahkan pendapatan selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan penjualan hasil tani. Rakan Kebun SKoD adalah satu strategi untuk menggalakkan komuniti desa bekerjasama secara berpasukan untuk menghasilkan produk makanan sama ada untuk penggunaan sendiri ataupun untuk dijual. Projek Rakan Kebun ini dilaksanakan secara berkelompok dalam dua kaedah dan terdiri dari sukarelawan SKoD berdaftar melibatkan kerjasama Jawatankuasa SKoD, Sukarelawan SKoD, komuniti desa, KEMAS dan Jabatan Pertanian.

Objektif pelaksanaan Rakan Kebun SKoD ini adalah untuk mewujudkan aktiviti pertanian, untuk memberi nilai tambah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan serta pengurangan kos sara hidup. Walau bagaimanapun, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan ianya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan miskin dan berdaftar dengan e-Kasih. Antara penambahbaikan tersebut adalah dengan memperluaskan lagi penerima yang layak dengan memberi peluang kepada kampung-kampung lain merasai projek ini di bawah kelolaan KEMAS.

Selain itu, agensi-agensi yang berkaitan dengan hasil penanaman ini seperti Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA harus berkolaborasi untuk mewujudkan platform pemasaran hasil tuaian mereka pada kadar harga yang berpatutan. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, di Parit Kemang ada satu projek ini. Masa mesyuarat yang pertama, KEMAS kata anggaran harga lada ini RM12.00 sekilo tetapi bila berlaku tuaian harganya jadi RM6.00 sekilo. Jadi, kelompok ini rasa kecewa dengan harga tersebut.

Akhir sekali, Senggarang mencadangkan agar nilai projek ini perlu ditambah daripada RM10,000.00 kepada RM20,000.00 supaya lebih banyak kuantiti daripada yang sedia ada. Sekarang ini projek itu bernilai RM10,000.00 dah jalan menghampiri setahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang juga ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian berkenaan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Tujuan asal penubuhan MARSAH adalah untuk menghantar pelajar ke Universiti Al Azhar. Ini dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah menengah untuk melanjutkan pengajian dalam negeri Johor. Kerajaan negeri telah pun mengarahkan bahawa latihan persediaan guru-guru agama bagi Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor (SAKNJ) pada diploma hendaklah diuruskan oleh MARSAH. Kemudian MARSAH turut berkembang dan didaftarkan sebagai sebuah IPTS dan bergerak sehingga kini. Pada awal tahun 2023, MARSAH telah dinaiktarafkan kepada Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI). Tahniah Kerajaan Negeri Johor. MARSAH adalah milik MAIJ dan pengajian Diploma Pendidikan Islam di MARSAH adalah berasaskan sistem Pendidikan Agama Islam Negeri Johor. Graduan Diploma Pendidikan Islam juga menjalani praktikum di Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ). Lepasan MARSAH bagi graduan Diploma Pendidikan Islam adalah layak untuk memohon perjawatan DG29 Guru Sekolah Agama Johor di Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Oleh yang demikian, Senggarang berharap agar lulusan Diploma Pendidikan MARSAH ini terus dilantik menjadi

guru di Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor sepertimana yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada graduan lulusan-lulusan IPG mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Persatuan Pengakap Malaysia merupakan antara pertubuhan NGO yang tertua di Malaysia. Pengakap ditubuhkan mengikut Akta Parlimen 1968 Semakan 1989. Dengan keistimewaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta Tuan Yang Terutama merupakan penaung Persatuan Pengakap di peringkat negeri dan nasional. Pengakap di Johor bermula pada tahun 1928. Salah satu kem Pengakap yang paling masyhur ialah Kem Pengakap Jubli Intan di Tanjung Laboh Batu Pahat, terletaknya di dalam DUN Senggarang. Tapak Kem Jubli Intan Tanjung Laboh atau turut dikenali dengan nama Diamond Jubli Park telah diambil bersempena nama dari perayaan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar 1895, 1955. Tapak kem ini berkeluasan lebih kurang 34 ekar setengah. Pada 23 Mac 1956, Yang Teramat Mulia Tunku Mahkota kemudiannya bergelar Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim telah berkenan merasmikan kem ini. Kem ini mempunyai kemudahan seperti air, elektrik, dorm penginapan, kantin, bilik mesyuarat, pejabat, kem padang kawat bertar yang luas tetapi malangnya bilik mandi dan tandas yang sudah berusia dan sentiasa memerlukan penyelenggaraan. Kem ini juga sering digunakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Tentera, Polis, Bomba, JPM dan agensi bukan kerajaan seperti PBSM, Pandu Puteri, selain Pengakap itu sendiri untuk pelbagai aktiviti perkhemahan tahunan, kem motivasi dan sebagainya. Salah satu kemudahan yang paling penting yang sangat diperlukan kem ini sejak penubuhannya ialah dewan terbuka berpentas. Aktiviti terbesar di kem ini Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terbaharu yang diadakan ialah Perkhemahan Pengakap Kelana iaitu Pengakap berumur 18 tahun dan ke atas dengan penyertaan lebih 1,000 orang. Semasa mewakili Yang Berhormat EXCO Belia Dan Sukan di majlis penutupan program, Senggarang sendiri melihat, menyaksikan betapa perlunya sebuah dewan terbuka berpentas dibina bagi kegunaan peserta-peserta kursus tersebut.Pastinya anak-anak dan generasi pemimpin, pelapis yang sedang dibina dan di bangun dan dibentuk oleh Pengakap ini akan bersyukur dan berterima kasih dan mengenang budi kerajaan.

Kem Pengakap Jubli Intan Tanjong Laboh ini, kos bagi pembinaan dewan tersebut adalah berjumlah RM500,000.00. Buat makluman pihak Ahli Yang Berhormat sekalian, Kem Jubli Intan Tanjung Laboh merupakan satu-satunya kem Pertubuhan Pengakap Negeri Johor yang terdapat di dalam negeri Johor ini. Sehubungan dengan itu, Senggarang berharap pihak kerajaan negeri dapat meluluskan pembinaan dewan terbuka berpentas di Kem Pengakap Jubli Intan Tanjung Laboh ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penemuan longgokan bahan hiasan mengandungi ayat suci Al-Quran terbuang di kawasan pelupusan sampah bukan kejadian asing. Kejadian seperti ini berlaku lantaran sikap ambil mudah pihak tidak bertanggungjawab bagi melepaskan diri dari terbeban dengan bahan-bahan berkenaan yang tidak mahu digunakan lagi sama ada di rumah, stor atau premis atau berbagai faktor seperti rosak, susut nilai, susun atur baharu melibatkan tempat simpanan dan sebagainya. Ditambah pula dengan kekurangan ilmu pengetahuan pihak-pihak terlibat serta nipisnya nilai sensitiviti terhadap hukum dan adab beragama maka berlakulah pembuangan atau pelupusan bahan-bahan seperti ini sama seperti bahan-bahan terbuang yang lain. Yang ini Yang Berhormat Datuk Speaker rungutan daripada orang-orang masjid dan surau. Mereka mencadangkan agar pihak kerajaan negeri dapat mewujudkan satu sistem pungutan Al-Quran dan kitab-kitab agama mahu pun bahan hiasan mempunyai ayat suci Al-Quran hinggalah proses pelupusannya dapat disusun atur. Ianya termasuk di rumah-rumah, di masjid, mahu pun di surau, di sekolah-sekolah dan sebagainya. Kaedah pungutan, kaedah pelupusan memang kita maklum ada, tetapi pungutan, bagaimana hendak dikumpulkan bahan-bahan tersebut, perlu ada satu mekanisme.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Majlis Perbandaran Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri Johor, PLANMalaysia@Johor dan pejabat projek zon selatan Jabatan Perancang Desa dan Bandar dalam proses penyediaan rancangan kawasan khas persisiran Sungai Batu Pahat Johor, yang telah bermula pada 15 Mac 2023 dan telah berakhir pada 15 September 2023. Pada 4 Disember 2023 hingga 4 Januari 2024, merupakan program publisiti rancangan kawasan khas ini yang memberi peluang kepada orang awam untuk membantah dan memberi cadangan berkaitan kajian ini. Kajian ini dilaksanakan berdasarkan isu dan masalah seperti mana berikut. Aktiviti pelaburan tukar barang barter trade di persisiran Sungai Batu Pahat yang beroperasi secara tidak terancang. Semakin berkembang pesat dan memerlukan kawalan perancangan bagi penyusunan dan pemajuan semula. Kesesakan lalu lintas disebabkan kenderaan berat yang menunggu untuk memasuki jeti kastam Jalan Shah Bandar bagi tujuan aktiviti pemunggahan barang. Kekerapan banjir di jeti kastam Jalan Shah Bandar, Jalan Pantai, Jalan Shah Bandar, Jalan Dato’ Syed Isa, Jalan Minyak Beku, Terminal Feri Minyak Beku, Taman Sri Banang, Kampung Muhibah, Kampung Tambak dan sebahagian Bandar Penggaram. Aktiviti kemasukan pendatang asing tanpa izin dan penyeludupan barang-barang dari luar khususnya dari wilayah Riau, Indonesia. Keperluan untuk mempertingkatkan kawalan pintu keluar masuk negara dan kawalan penguatkuasaan melalui aktiviti pelabuhan. Kemerosotan kualiti air Sungai Batu Pahat yang mana indeks kualiti air, IKA berada di tahap 3, tercemar dengan nilai Ph rendah dan berasid. Kemerosotan nilai biodiversiti kesan daripada kemusnahan akibat habitat flora dan fauna. Kawasan mudleft, mudlave dan muara yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan bakau kesan.

Speaker

Senggarang, tinggal 2 minit.

Baik, Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih. Maafkan saya Yang Berhormat Datuk Speaker. Di dalam kajian tersebut itu juga telah terdapat beberapa penemuan utama berdasarkan isu dan masalah yang berlaku iaitu aktiviti pembangunan di pinggiran sungai di atas rizab Sungai Batu Pahat. Pembangunan tidak terancang, perindustrian dan kediaman setinggan. Aktiviti pembaikan perusahaan kapal, kesesakan kedudukan jeti Shah Bandar, keberkesanan kedudukan Terminal Feri Minyak Beku, laluan alternatif jambatan kedua pembangunan komited second port logistic. Kualiti visual persekitaran. Oleh yang demikian, Senggarang mohon untuk kerajaan negeri setelah meneliti rancangan kawasan khas di Sungai Batu Pahat, Johor. Secara terperinci Senggarang sangat berharap dan memohon agar perancangan dan kajian ini dapat direalisasikan bagi memastikan kerajaan rancangan kawasan khas persisiran Sungai Batu Pahat Johor ini Senggarang berharap juga kerajaan negeri dapat memberikan perhatian yang serius dan membantu dalam menjayakan perancangan yang telah dibuat serta dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Batu Pahat. Sama ada dari segi tadbir urus mahu pun bantuan peruntukan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi Senggarang merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah menunjukkan kepintaran idea, iltizam dan kesungguhan yang luar biasa dalam memajukan ekonomi negeri Johor. Senggarang turut ingin merakamkan sekali lagi pada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang meluluskan peruntukan-peruntukan di Senggarang khususnya untuk manfaat penduduk di Senggarang. Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, terima kasih Yang Amat Berhormat Datuk Speaker, Senggarang mohon menyokong. Wabilahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Senggarang. Seterusnya, saya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana telah memberi peluang dan juga ruang kepada Tangkak untuk bersama-sama menyertai dalam perbahasan rundingan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) tahun

2023. Sebelum bermula perbahasan Tangkak izinkan patik merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor yang jatuh pada tanggal 22 November. Patik dan seluruh warga kawasan DUN Tangkak merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sempena pengisytiharan sebagai Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Tangkak juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar serta pasukan pentadbiran beliau atas berjaya membentangkan belanjawan Johor tahun 2024 yang bertema Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat pada 23 November yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan negeri sangat bergantung kepada kutipan hasil selain bantuan dan insentif daripada kerajaan persekutuan. Tangkak menyambut baik dengan pencapaian terimaan hasil negeri bagi tahun 2023 telah melebihi jumlah yang diunjurkan. Kami telah dimaklumkan oleh Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bahawa dari sasaran pungutan hasil bagi tahun 2024, sebahagian yang sangat besar adalah daripada sumber cukai tanah. Sejak 10 tahun dahulu sumber hasil negeri utama memang bergantung sangat kepada cukai tanah. Namun, selepas 10 tahun pada hari ini pungutan hasil yang masih dari sumber yang sama sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan-perbelanjaan yang semakin meningkat setiap tahun. Berbanding dengan masa lalu, keadaan sekarang adalah seperti mana yang telah disebut oleh rakan kita Yang Berhormat Seri Medan pada hari Ahad yang lalu iaitu perbelanjaan untuk mengurus telah meningkat dan perbelanjaan pembangunan terpaksalah dikurangkan. Tangkak bersependapat dengan Yang Berhormat Seri Medan bahawa keadaan ini adalah tidak sihat untuk pembangunan negeri. Tangkak tiada masalah untuk kerajaan menaikkan emolumen kakitangan-kakitangan negeri dengan kadar yang munasabah setiap tahun. Cuma untuk tidak mengurangkan perbelanjaan pembangunan kerana kekangan jumlah hasil. Kita bersama-sama perlu cari punca hasil yang baharu supaya dapat terus membangunkan negeri Johor. Oleh itu, adakah kerajaan dan anak-anak syarikat milik kerajaan mempunyai pelan rancangan atau tindakan untuk meneroka sumber-sumber hasil pendapatan baharu buat negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada pendapat hasil premium tanah?

Yang Berhormat Datuk Speaker, sektor pelancongan adalah salah satu peluang untuk Johor meningkatkan sumber hasil pendapatan. Dengan kedudukan geografi yang unik dan menarik, Johor mempunyai 2 jiran yang merupakan tempat tarikan pelancong antarabangsa yang terkenal. Johor juga mempunyai pantai yang terpanjang di semenanjung Malaysia. Johor mempunyai pulau-pulau yang cantik di Taman Laut Sultan Iskandar. Johor mempunyai gunung-gunung yang diminati oleh pendaki-pendaki antarabangsa seperti Gunung Ledang, Tangkak. Johor mempunyai banyak kebun-kebun, sayur-sayuran dan buah-buahan dan Johor merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Johor juga mempunyai tempat-tempat yang bersejarah, berwarisan dan tempat-tempat yang penuh dengan budaya tempatan. Makanan-makanan yang istimewa dan sedap, semua yang telah disebut di atas adalah tarikan-tarikan pelancong yang unik di negeri Johor. Tourism Johor juga selama ini bekerja keras untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri Johor. Tangkak ingin mencadangkan Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia produk pelancongan di dalam kawasan masing-masing. Dengan bantuan sumber daripada Tourism Johor dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya. Setiap daerah digalakkan untuk menyedia risalah pelancongan yang merangkumi semua maklumat pelancongan di dalam daerah termasuk tempat-tempat tarikan pelancongan, tempat makanan istimewa, tempat penginapan, peta fasiliti kemudahan dan pengangkutan serta informasi-informasi yang berkaitan pelancongan dengan terperinci. Sekiranya setiap daerah dapat menyediakan risalah pelancongan ini dengan format yang sama dan lengkap, kita akan dapat 10 risalah dari daerah di negeri Johor yang boleh dibukukan sebagai satu buku rujukan pelancongan Johor yang sangat berguna untuk pelancong-pelancong yang datang ke Johor dan sudah tentu ia akan jadi salah satu alat yang sangat penting dalam mencapai sasaran Kerajaan Negeri Johor

bahawa 12 juta pelancong ke Johor sempena Tahun Melawat Johor 2026. Dengan risalah yang dicadangkan ini Tangkak percaya kita bukan sahaja boleh menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 tetapi limpahan ekonomi dari sektor pelancongan ini akan sampai ke semua daerah dan tempat di seluruh negeri Johor seterusnya memanfaatkan ekonomi sosial setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tadbir urus yang terus berakauntabiliti, berintegriti dan berhemah juga akan memastikan kerajaan dapat mengurus hasil negeri dengan baik dan elak daripada berlaku pembaziran supaya hasil-hasil tersebut dapat dinikmati oleh bangsa-bangsa Johor melalui pengurusan dan pembangunan negeri. Tangkak pernah bercadang kepada Dewan yang mulia ini pada persidangan yang lepas supaya kerajaan memasangkan panel-panel solar untuk menjana tenaga elektrik di semua bangunan-bangunan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan serta anak-anak syarikat kerajaan yang sesuai supaya dapat kita menjimatkan perbelanjaan dari bil kegunaan elektrik. Tangkak mohon kerajaan kalau boleh kongsikan jumlah bangunan-bangunan kerajaan yang telah menggunakan sistem penjana elektrik yang boleh dibaharui ini setakat sekarang dan adakah penggunaan panel solar ini akan diteruskan pada masa yang akan datang? Selain panel solar di bangunan kerajaan lampu-lampu jalan miliki kerajaan selain TNB juga dicadangkan mengguna lampu solar LED yang dijana elektriknya dari solar yang bukan sahaja mesra alam tetapi dapat jimat bil elektrik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak bersetuju dengan saranan Yang Berhormat Benut iaitu Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana dibuat dalam bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Johor dan kita boleh menubuhkan pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas bagi isu-isu yang tertentu, yang penting mengikut keperluan pada masa hadapan. Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas adalah selari dengan amalan Parlimen di negara luar dan Malaysia dan sejajar dengan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) dengan izin. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Tangkak membawa beberapa isu tempatan yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ataupun barisan EXCO supaya dapat dibantu, disalur bantuan ke Dewan yang mulia ini.

Yang pertama mengenai bekalan air. Untuk makluman semua, Tangkak pernah berkongsi pengalaman pahit di Dewan yang mulia ini kerana telah menghadapi masalah gangguan bekalan air di kawasan sebanyak 56 kali sepanjang tahun 2022. Jadi, untuk Yang Berhormat Parit Yaani bukan sahaja disebabkan nama Tongkang Pecah ada paip pecah, Tangkak tak pecah pun, paip pun tetap pecah, Yang Berhormat. Oleh itu, Tangkak dimaklumkan bahawa kejadian ketiadaan gangguan bekalan itu berlaku kerana kerap sangat berlaku kes kebocoran paip, kes kerosakan di loji rawatan air serta kes kerosakan di tangki air di dalam kawasan. Tangkak mengalu-alukanlah pengumuman kerajaan dalam memperuntukkan dana untuk menaik taraf Empangan Gunung Ledang dan akan meneruskan projek penggantian paip lama sepanjang 206 kilometer di Johor pada tahun yang akan datang. Cuma, Tangkak minta supaya pemantauan yang berkala dijalankan terhadap kerja-kerja penggantian paip air ini supaya projek-projek yang telah dirancang dapat disiapkan mengikut rancang dan mengikut jadual.

Mengikut jawapan yang diperolehi dari Dewan yang mulia ini pada Ranhill SAJ melalui rancangan perniagaan yang telah diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Pengurusan Aset Air Berhad telah melaksanakan program penggantian paip lama di seluruh negeri seperti berikut; Program untuk tahun 2018 dengan 2019. Sepanjang 190 kilometer paip lama akan ditukar dan jangka siap tahun 2022. Pada tahun 2020, 281 kilometer diumumkan. Pada tahun 2021, 223 kilometer diumumkan. Masing-masing akan siap pada tahun 2024. Untuk tahun 2022, diumumkan 154 kilometer dan dijangka siap tahun 2025. Dalam belanjawan tahun 2023 pada hujung tahun lepas, 234 kilometer telah diluluskan untuk diganti di negeri Johor. Setakat ini, Tangkak dimaklumkan hanya kira-kira 110.2 kilometer paip lama jenis AC telah diganti dengan paip PE sepanjang tahun 2023.

Oleh itu, jumlah ini adalah sangat menyedihkan kerana Johor mempunyai paip air lama sepanjang 6,000 kilometer. Adakah pihak Ranhill SAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Pengurusan Aset Air Berhad dapat mempercepatkan lagi kerja-kerja penggantian ini kerana paip air yang dinyatakan ini kebanyakan telah melebihi usia 40 tahun. Inilah penyebab terbesar berlakunya gangguan bekalan air di kawasan Tangkak dan merata tempat di negeri Johor.

Ranhill SAJ sendiri menerima hampir 7,000 aduan setiap bulan berkenaan dengan kejadian paip air bocor. Kalau kerja-kerja penggantian tidak dipercepatkan, Tangkak percaya bukan sahaja kes air bocor akan berlaku dengan lebih kerap tambahan lagi tekanan air terpaksa direndahkan supaya paip yang telah uzur ini boleh diguna. Kedua-dua keadaan ini akan menyusahkan pengguna air di Johor dan mengakibatkan peningkatan kadar air tidak berhasil (NRW) dengan izin dalam negeri. Sehingga berlaku kerugian yang lebih besar berbanding dengan kos mengganti paip baharu. Tangkak mohon Yang Berhormat EXCO kalau boleh kongsikan maklumat terperinci berkaitan dengan jumlah kepanjangan paip lama yang telah siap diganti sejak tahun 2018 sehingga hari ini. Tangkak sekali lagi mencadangkan kerajaan sekiranya Ranhill SAJ masih tidak dapat melaksanakan program penggantian paip lama dengan efektif dan mengikut jadual, kita harus lantik syarikat lain yang lebih berkemampuan. (Dewan bertepuk). Kalau tidak sampai bilakah Bangsa Johor perlu menghadapi gangguan bekalan air yang disebabkan paip air bocor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang kedua yang ingin Tangkak bawa berkenaan dengan fasiliti kesihatan di kawasan DUN Tangkak. Klinik Kesihatan Paya Mas yang terletak di bandar Tangkak merupakan fasiliti kesihatan yang telah beroperasi sejak tahun 1970. Saya rasa kedua tertua berbanding dengan klinik kesihatan di kawasan YB Gambir. Klinik ini berkhidmat untuk kira-kira 31,500 orang penduduk di kawasan operasinya yang seluas 117 kilometer persegi yang melibatkan bukan sahaja penduduk di daerah Tangkak tetapi juga kepada kawasan Jasin Selatan negeri Melaka. Secara purata klinik ini menyambut kedatangan harian pesakit di antara 280 hingga 350 orang. Namun, disebabkan ruangan yang disediakan sejak lebih daripada 50 tahun telah tidak mencukupi untuk menampung peningkatan pesakit yang datang ke klinik. Klinik ini boleh kata menghadapi masalah penuh atau kesesakan setiap hari diikuti dengan ruangan meletak kenderaan dan ruangan menunggu yang tidak mencukupi, keadaan bertambah teruk dan telah menjejas para pesakit yang datang serta pegawai perubatan dan jururawat yang berkhidmat di klinik.

Tangkak juga telah dimaklumkan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak sedang berunding dengan Hospital Tangkak bagi cadangan menggunakan tanah lapang Hospital Tangkak seluas empat ekar untuk tujuan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Tangkak yang baharu. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Hospital Tangkak mempunyai sekeping tanah lapang seluas 9 ekar di atas Lot 3176 Mukim Tangkak yang terletak bersebelahan dengan hospital. Tanah lapang ini sekarang adalah tanah kosong dan tiada sebarang bangunan dan tanaman dan lokasinya adalah di persimpangan masuk ke Taman Tangkak Jaya, satu kawasan perniagaan dan perumahan yang terbesar di dalam bandar Tangkak. Memandangkan tanah tersebut merupakan tempat yang paling sesuai untuk pemindahan Klinik Kesihatan Paya Mas, Tangkak memohon bantuan Jabatan Kesihatan Johor untuk bersama-sama merealisasikan cadangan ini dengan mendapat kelulusan kegunaan tanah serta dana dari kerajaan persekutuan.

Speaker

Tangkak, tinggal dua minit lagi.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Baik. Sebagai tindakan penyelesaian sementara, Tangkak ingin bercadang untuk pemasangan bumbung pergola di tepi dan dua belah pintu masuk untuk Blok Kesihatan Perkhidmatan Kesihatan Pesakit Luar, Blok Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak serta Blok Perkhidmatan Farmasi dengan kelengkapan kerusi dan kipas untuk dijadikan sebagai tempat duduk pesakit. 9 unit kuarters yang tidak diguna sejak lama lagi

yang terletak di dalam kawasan klinik juga boleh dirobohkan sebahagiannya atau beberapa unit untuk dijadikan tempat letak kenderaan dan yang bakinya diubahsuai sebagai balai menunggu untuk pesakit atau dijadikan bilik stor untuk Klinik Kesihatan Paya Mas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada kerajaan kerana telah merancang dan meluluskan beberapa projek pembangunan tempatan bagi kawasan DUN dan daerah Tangkak. Tangkak merakamkan terima kasih sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan barisan pimpinannya atas prihatin yang diberi kepada kawasan DUN dan daerah Tangkak. Akhir kata, kerajaan Madani Malaysia ditubuhkan kerana Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mendukung politik matang bagi menjaminkan kestabilan politik negara dan demi kesejahteraan rakyat. Konsep ini kita guna di sini dengan cara Bangsa Johor.

Oleh itu, Tangkak meminjam dua rangkap pantun daripada Timbalan Menteri Kewangan 1 dan ke-2 untuk dikongsikan kepada rakan-rakan Yang Berhormat di dalam Dewan Negeri Johor yang berbunyi, ada kiblat penunjuk arah, ada dacing penentu timbang, ada pengubat nusa yang parah, ada peluang menamat bimbang.

Daripada dibiar jurai, lebih baik diikat mati, daripada membenih cerai, lebih baik menanam bakti. Demikianlah perbahasan dari Tangkak untuk Persidangan kali ini. Terima kasih atas masa dan peluang yang diberi oleh Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Terima kasih Tangkak, mudah-mudahan Ranhill SAJ beri perhatian kepada apa yang dibangkitkan oleh Tangkak dan juga YB-YB yang lain dalam isu air ini. Ini adalah masalah besar, sebab saya pun Wakil Rakyat juga.Jadi Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Persidangan disambung semula pada 2.30 petang.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Tanjung Surat. (Dewan bertepuk.)

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNTanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya ucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk turut sama berbahas pada petang ini sempena pembentangan Bajet 2024 bagi negeri Johor. Sepertimana rakan-rakan Ahli Dewan yang lain, saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 22 November baru-baru ini. Patik juga turut merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja atas pengisytiharan pemilihan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17 tidak lama lagi. Di samping itu juga, saya ingin merakamkan rafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim juara Liga Super, juara Piala FA, juara peringkat akar umbi dan banyak lagi. Insya-Allah, Piala Malaysia akan datang akan menjadi juga milik kita. Sudah 10 tahun revolusi JDT, dulu kita dijadikan bahan jenaka tapi sekarang lihatlah di mana kita berada. Jangan kata bola sepak di Johor ini hampir semua sukan kita juara, SUKMA pun kita juara dan saya juga di sini ingin mencadangkan kepada YB EXCO supaya mengekalkan Chef de Mission SUKMA kita yang lepas untuk menjadi Chef de Mission SUKMA yang akan datang di Sarawak.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama. Semoga pengurniaan ini akan menambah lagi semangat Yang Amat Berhormat Dato’ untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang maju selaras dengan Agenda Maju Johor 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh Teras Ke-6 Bajet 2024 iaitu Orang Muda Johor. Saya selalu berkata bahawa orang muda Johor sangat bertuah kerana memiliki Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang sentiasa menjadikan pembangunan belia sebagai salah satu agenda utama negeri Johor. Pelbagai usaha dilakukan Baginda dalam usaha memaju dan memperkasakan belia di negeri Johor. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang komited membangunkan belia melalui Bajet 2024 dengan meletakkan pembangunan belia di bawah satu teras khusus iaitu Teras Ke-6 Orang Muda Johor yang merangkumi 6 strategi dan 10 inisiatif. Izinkan saya berkongsi kata-kata dari Nelson Mandela dengan izin, the youth of today are the leaders of tomorrow, anak muda pada hari ini ialah pemimpin hari esok.

Justeru, pelbagai langkah ke hadapan perlu dilakukan sekarang dalam usaha melahirkan pemimpin yang boleh membawa negeri Johor bukan sahaja gah di dalam negara, malah ke persada dunia. Alhamdulillah, saya berada di dalam Dewan yang mulia ini pada hari ini juga hasil dari kilang belia. Kilang Majlis Belia Negeri Johor, kilang MOYC Negeri Johor, kilang-kilang ini telah melahirkan ramai pemimpin dalam Dewan ini juga dan juga di Dewan Rakyat. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, yang memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 kepada bagi dana bantuan pengurusan dan pentadbiran Majlis Belia Negeri Johor, RM365,000.00 bagi geran pentadbiran pengurusan kepada 73 Majlis Belia FELDA Malaysia Negeri Johor dan juga RM50,000.00 bagi pelaksanaan Kursus Pengurusan Organisasi, Majlis Belia Negeri Johor. Terima kasih atas semua inisiatif untuk belia Bangsa Johor dan ini semua bukti kerajaan negeri komited dan serius membangunkan orang muda Johor terutama dari aspek kepimpinan dan peningkatan soft skills.

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang amat menitikberatkan soal pendidikan kepada Bangsa Johor. Kita perlu memastikan orang muda Johor mendapat pendidikan yang berkualiti untuk mempersiapkan orang muda Johor yang serba lengkap dengan segala kemahiran dan pengetahuan untuk menghadapi apa sahaja cabaran dan menjadi pemimpin masa depan. Saya lihat dalam Bajet 2024 ini terdapat beberapa inisiatif khas untuk memperkasa pendidikan orang muda Johor. Antara yang menarik perhatian saya, RM2 juta bagi biasiswa orang muda Johor kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM, bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di luar negara. RM150,000.00 bagi biasiswa di bawah Tabung Pendidikan Sarjana PDT kepada pelajar pasca siswazah dan RM3.7 juta bagi insentif Mahasiswa Anak Johor yang akan memberi manfaat kepada 75,000 Mahasiswa Anak Johor. Insya-Allah inisiatif ini akan memberi manfaat kepada orang muda Johor dan akan melahirkan lebih ramai orang muda Johor yang akan menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

Namun begitu Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat satu perkara yang merisaukan saya. Fenomena brain drained atau perpindahan pakar-pakar ke luar negara pernah melanda negara kita dan sekarang pun kita masih lagi berhadapan dengan fenomena ini. Walaupun fenomena ini suatu yang boleh dipandang dari sudut yang positif kerana ia juga boleh menguntungkan negara, namun ia juga merupakan satu kerugian kerana pakar-pakar tersebut tidak berkhidmat dan menyumbang idea kepada negara kita. Saya tidak mahu fenomena ini juga melanda negeri kita. Saya harap kerajaan negeri dapat merangka satu strategi khusus supaya mahasiswa-mahasiswa yang hebat-hebat sama ada yang sedang berada di dalam negara ataupun di luar negara pulang dan berkhidmat sendiri di negeri Johor setelah selesai menimba pelajaran dan pengalaman di luar negara. Selain itu juga,

saya juga mohon agar peruntukan RM150,000 bagi biasiswa di bawah Tabung Pendidikan Sarjana PDT kepada pelajar pasca siswazah ini ditambah lagi supaya kita dapat melahirkan lebih ramai orang muda Johor yang mempunyai Master dan juga PhD, tambah lagi kos untuk melanjutkan pelajaran pada masa sekarang juga semakin meningkat. Saya juga mohon YB EXCO masukkan saya dalam skim ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dasar globalisasi ekonomi pasaran bebas, perkembangan teknologi yang sangat pantas menuntut orang muda Johor untuk lebih proaktif dan sentiasa cakna dengan peluang baharu terutama dalam bidang masa depan seperti Teknologi Kecerdasan Buatan AI. Kecerdasan Buatan merupakan teknologi yang memperlihatkan potensi besar dalam banyak bidang kehidupan termasuk perubatan, perniagaan, pendidikan dan penyelidikan. AI memberikan pengaruh kepada masa depan digital, menggerakkan perkembangan robotik, automasi dan pembelajaran mesin, selain melibatkan projek menganalisis data dan pengambilan keputusan. Pendek kata pada masa akan datang semua bidang boleh dikuasai oleh AI. Kita sudah nampak AI adalah peluang bidang pada masa depan. Justeru bermula dari sekarang, kita perlu merangka perancangan yang bersesuaian supaya orang muda Johor dapat mengusai bidang ini, seterusnya menjadi peneraju dalam industri ini.

Syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang memberi fokus terhadap teknologi Al ini supaya beberapa inisiatif dalam Bajet 2024 seperti penubuhan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan yang pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan AI di UTM. RM5,000.00 bagi IDO Research Centre yang akan memanfaatkan kuasa analisis data menggunakan kecerdasan pembuatan AI untuk menjana perubahan serta menyediakan cerapan dan analisis berasaskan data dan RM1,000.00 bagi Program Johor Outbound School yang direka khas bagi pelajar cemerlang semasa cuti sekolah melalui pembelajaran teknologi AI. Namun begitu terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan negeri. Saya ingin bertanya adakah sudah dapat kod etika serta tadbir urus yang akan menjadi asas kepada pengawal seliaan AI dalam negeri kita yang merangkumi proses pengawalan dan pengetahuannya melibatkan pelbagai aspek seperti teknikal, perundangan, etika, polisi serta standard ataupun piawaian dalam penggunaan teknologi AI? Selain itu, adakah kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk mewujudkan satu pelan hala tuju kecerdasan buatan AI khas untuk negeri Johor?

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu faktor yang mempengaruhi pengangguran belia pada hari ini ialah kerana mismatch atau ketidakpadanan antara graduan dan kehendak industri. Menurut kajian akademik, ramai graduan tidak memiliki kemahiran yang tepat dan terkini yang diperlukan oleh pasaran kerja khususnya kemahiran soft skills. Perkara ini turut disahkan oleh Bank Negara dalam laporannya yang menyatakan bahawa wujudnya ketidakpadanan yang ketara antara kemahiran yang diperlukan industri dengan kemahiran yang dimiliki para pekerja. Selain itu, menurut kajian Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Ekonomi, Organisation For Economic Corporation And Development (OECD) mengenai ketidak seimbangan kemahiran di Malaysia, majikan melaporkan kekurangan dalam kemahiran komunikasi dapatan daripada kajian ini secara amnya konsisten dengan kesukaran mendapat pekerja seperti yang dilaporkan oleh majikan di Malaysia sejak dahulu lagi. Jadi dalam hal ini saya berpendirian bahawa perlunya kita menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian dan menerima permintaan tinggi oleh industri. Tawarkan bidang pengajian yang sememangnya menepati kehendak pasaran kerja. Sebelum ini kita kejarkan kemahiran TVET tetapi belum ada jaminan pekerjaan dalam bidang ini. Saya juga ingin mencadangkan perlunya ada satu badan khusus yang bertindak sebagai pengeras antara industri dan juga kolej. Tanpa job matching ini kita tidak akan merasakan graduan-graduan kita yang keluar daripada TVET dan kemahiran tidak mendapati pekerjaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti kita sedia maklum kerajaan pusat melalui Bajet 2024 kerajaan persekutuan telah mengumumkan PIPC Pengerang sebagai hab

pembangunan sektor kimia dan petrokimia yang turut disertai dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan. Untuk rekod, PIPC telah menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion setakat pertengahan fasa kedua pembangunan 2022-2025. Sudah tentunya ianya akan memberi impak ekonomi kepada kerajaan negeri dan juga kepada penduduk sekitar. Sudah tentu kita perlu lakukan pelbagai usaha dengan lebih giat lagi untuk menarik minat syarikat gergasi menempatkan koperasi mereka di seluruh negeri Johor.

Berkenaan penempatan kerajaan dalam membentuk ekosistem, aktiviti ekonomi bernilai tinggi. Bagi merancakkan pembangunan ini adalah penting untuk memastikan kemasukan pihak pelabur ini dipermudahkan, ini terutamanya dalam aspek mendapatkan kelulusan-kelulusan wajib daripada pihak kerajaan pusat dan juga pihak kerajaan negeri sebelum mereka membina kilang-kilang tersebut. Sehubungan dengan itu, saya berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya terdapat satu agensi kerajaan yang diberi punca kuasa sebagai koordinator supaya agensi terpilih ini dapat memastikan semua kelulusan wajib di peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat dipercepatkan agar pelaburan dapat masuk dengan mudah dan lancar. Kita perlu wujudkan satu ekosistem dan pengurusan yang mesra pelabur. Seperti Ketika kewujudan PIPC Pengerang, telah tertubuhnya penubuhan PIPC Project Streering Committee yang bermula tahun itu adalah bagi menentukan hala tuju menangani isu-isu berbangkit serta merealisasikan keperluan-keperluan asas untuk manfaat pembangunan PIPC di Pengerang. Hal yang demikian amat penting kerana dalam keadaan ekonomi kini iklim pelaburannya semakin kompetitif, pelabur mempunyai banyak pilihan bagi menjaga kepentingan pelaburan syarikat mereka. Oleh itu semua pihak harus bekerjasama dan terus berusaha dalam menjadikan Johor tetap menjadi destinasi pilihan pelabur dan mewujudkan ekosistem yang mesra pelabur. Pelabur-pelabur ini juga akan menjadi agen penghubung atau jambatan bagi menarik minat pelabur asing yang lain. Bila servis elok, perkhidmatan elok, maka ramai lagi pelabur Asia akan masuk dan melabur di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan kemudahan sukan, saya menyambut baik pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang mengumumkan RM8.8 juta bagi memastikan kemudahan sukan, pusat rekreasi dan permainan dalam keadaan yang baik demi keselesaan masyarakat setempat. Saya mohon juga kerajaan negeri memberi perhatian kepada infrastruktur terutama di kawasan DUN saya, DUN Tanjung Surat. Kita semua sedia maklum bahawa pertambahan penduduk yang berlipat ganda ekoran pembangunan projek PIPC ini. Infrastruktur sedia ada terutamanya padang awam bola sepak dan gelanggang futsal sangat tidak mencukupi. Yang sedia ada pun mudah rosak kerana terlalu kerap digunakan. Oleh hal yang demikian, saya berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian kepada perkara ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan saya, terutamanya anak-anak muda yang nak bersukan dan beriadah.

Selain kemudahan sukan, saya juga mohon kerajaan negeri memberi perhatian kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan Tanjung Surat. Seperti yang saya katakan tadi akibat pertambahan penduduk, banyak kemudahan dan kelengkapan asas kepada penduduk perlu dinaik taraf dan ditambah baik. Hal ini termasuklah bilangan ambulans yang tidak mencukupi sehingga terdapat kes-kes yang lambat diselesaikan akibat ketidakcukupan ambulans di mana suasana Tanjung Surat ini nak menghantar ke hospital mengambil masa satu jam ke Hospital Kota Tinggi. Dalam masalah yang dibangkitkan oleh YB Pasir Raja juga berkenaan dengan Hospital Kota Tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan Tanjung Surat ini dikelilingi lautan yang cantik dan berpotensi menjadikan tarikan pelancong. Banyak hot spot yang boleh dijadikan tapak perkhemahan atau camp site. Sudah menjadi trend masyarakat kita untuk berkhemah di kawasan tepi pantai, nak healing, nak OOTD. Rentetan daripada itu, terdapat banyak kewujudan tapak perkhemahan persendirian di kawasan terutama di kawasan Pantai

Punggai sehingga ke Teluk Ramunia. Perkara ini saya lihat satu perkembangan yang positif. Ianya satu tarikan baharu di kawasan saya di samping dapat menambah pendapatan dan meningkatkan ekonomi penduduk-penduduk dan menarik kehadiran pelancong. Dan yang terbaharu Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila kedudukan pantai yang bersih ini sudah ada anak penyu naik ke pantai di sekitar Pantai Punggai dan menjadi tarikan terbaru di kawasan pantai ini. Namun begitu saya juga khuatir kerana ada di antara mereka yang beroperasi tanpa kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan dan ada di antaranya yang menggunakan tapak rizab pantai. Cuma harapan saya berharap pihak PBT dan PTD janganlah mendenda mereka ini, sebaliknya turun padang dan berbincang dengan pengusaha-pengusaha ini dan mempermudahkan urusan mereka untuk mematuhi setiap peraturan dan garis panduan yang disediakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini di kawasan saya dibanjiri oleh pekerja asing dengan izin, bukan pekerja asing tanpa izin. Hampir 300,000 pekerja dari Bangladesh datang dan menetap sementara di kawasan saya, berhampiran dengan projek minyak dan gas Pengerang. Isunya mereka ini datang tetapi tidak bekerja, mereka ini dijanjikan kerja oleh agen-agen yang membawa masuk mereka ini, dan selepas tiga bulan datang mereka masih lagi tidak bekerja. Rentetan daripada perkara itu, saya berharap agar ada satu pelaksanaan dan juga garis panduan tepat bagi memasukkan pekerja asing ke negara kita. Baru-baru ini, pada dua hari lepas Yang Berhormat Datuk Speaker, sudah ada 400 orang mogok tidak dapat bekerja. Duduk tepi jalan dengan bawa beg besar. Jadi perkara ini sangat merisaukan saya kerana ia boleh mengakibatkan perkara-perkara yang tidak diingini oleh kita berlaku terutamanya berkenaan dengan gejala sosial di kawasan DUN Tanjung Surat dan kawasan berhampiran dengan minyak dan gas. Persoalannya bagaimana mereka ini boleh dimasukkan sedangkan tidak ada pekerjaan? Adakah kerajaan telah semak akan kekurangan tenaga kerja? Kenapa kelulusan ini diberikan sedangkan mereka masuk tiada pekerjaan. Jadi saya harap kerajaan pusat terutamanya untuk semak dan pastikan semula dalam keadaan ini bahawa mereka ini hanya masuk yang untungnya adalah agen kepada syarikat-syarikat yang ada ini. Jadi, saya harap perkara ini harus diambil serius, mungkin pada ketika ini di tempat saya yang akan datang mungkin ada lagi berlaku di tempat-tempat yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya saya sudah sampai yang terakhir ini, saya berharapkan segala apa, segala yang saya cadangkan ini diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Negeri Johor supaya memberikan perkhidmatan terbaik dan saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana membentangkan bajet yang berbaik bagi tahun 2024. Akhir kata, Abang Wahab hendak ke Machap, singgah sebentar membeli lontong, terima kasih beri ruang berucap, Tanjung Surat mohon menyokong. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Saya jemput YB Kemelah.

Salam Muafakat Johor, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Persidangan Dewan Negeri Johor pada hari ini. Sebelum lidah ini berbicara dengan lebih panjang, izinkan Kemelah merafak sembah menjunjung kasih untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula tahun hadapan serta ucapan selamat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Tidak ketinggalan juga Kemelah ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan dan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan pasukan bola sepak

JDT yang telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai liga buat kali ke-10 berturut-turut. Tahniah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maka memulakan ucapan perbahasan pada kali ini tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya tuturkan di Dewan yang mulia ini selain ucapan tahniah yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar selaku pemimpin tertinggi dan tadbir negeri Johor yang telah berusaha keras untuk membawa Johor hingga menggapai pencapaian terbaik yang sungguh memberangsangkan sehingga hari ini.

Dalam alunan lidah ini Kemelah juga tidak ketinggalan untuk menuturkan ucapan tahniah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas pengurniaan darjah Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Sesungguhnya dengan pengurniaan ini Kemelah yakin menjadi suntikan bagi Yang Amat Berhormat untuk memacu Johor terus maju ke hadapan meninggalkan negeri-negeri lain dengan prestasi negeri yang lebih cemerlang. Perkara ini telah direalisasikan dengan titik mula setelah mendengar pembentangan Bajet 2024 minggu lalu. Satu bajet yang merangkumi segala aspek tanpa ketinggalan serta memberi sinar kepada semua bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, maka dengan ini saya mendukung hasrat yang sama dalam kejayaan besar yang dibawa oleh kepimpinan kita ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Kemelah ingin membawa perhatian di Dewan yang mulia ini terhadap beberapa perkara yang cukup penting dan perlu diutamakan selaku pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab membawa harapan besar kepada penduduk kawasan Kemelah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika melihat kalendar sebulan lagi tirai 2023 akan berlabuh menunjukkan kita sudah sampai ke penghujung tahun. Dan mendongak pula ke langit, matahari umpamanya emas bagi ibu-ibu khususnya yang memikirkan pelbagai daya usaha bagi memastikan pakaian dijemur kering. Selain peniaga-peniaga yang tidak ada pelanggan waktu musim tengkujuh ini. Dan bagi Kemelah sudah tiba masanya untuk merancang dan memikirkan tindakan efektif bagi mangsa-mangsa banjir yang lalu sebagai persediaan, bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Jika diimbas kembali isu banjir ini, kita semua sedar bahawa taburan hujan kali ini begitu banyak tidak seperti tahun yang lalu dan hanya dalam tempoh yang singkat, kurang daripada 48 jam, Kemelah telah dipenuhi air di serata pelosok kampung sehingga menyebabkan banyak jalan terputus hubungan dalam tempoh tersebut. Meski pun persediaan telah dibuat perlunya beberapa perancangan lain sebagai alternatif bagi mangsa-mangsa di Kemelah.Bulan lepas semua barangan pangkalan hadapan telah selesai dihantar ke tempat-tempat yang kerap terputus ketika berlakunya banjir. Dan satu inisiatif baik bagi memastikan bekalan tidak lewat tiba sekiranya air naik secara mendadak dalam tempoh singkat. Namun begitu Kemelah ingin mencadangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat agar melantik pembekal makanan atau sukarelawan dengan lebih ramai untuk menampung kapasiti sekiranya berlaku banjir serentak dalam daerah Segamat amnya. Perkara ini menyebabkan banyak PPS telah dibuka secara segera dan semestinya kita akur dalam keadaan mangsa-mangsa berpindah segera. Pelbagai masalah timbul bukan sahaja seperti banjir yang lalu kita lebih bersedia dalam semua permasalahan.

Mengikut rekod sepanjang banjir ini melanda Kemelah telah membuka sebanyak 17 buah PPS secara berturut-turut dan ada yang telah ditutup dan dibuka kembali. Ada beberapa buah PPS belum sempat memulangkan barangan keperluan bencana dahulu dan ianya telah digunakan semula pada waktu terdesak. Manakala 17 buah PPS Kemelah telah merekodkan sebanyak 270 buah keluarga yang melibatkan sebanyak 1,497 mangsa banjir hanya dalam tempoh satu minggu tersebut. Jumlah ini agak banyak kerana ada beberapa

tempat yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini terlibat dengan banjir sehingga mereka hadir ke PPS dalam keadaan sehelai sepinggang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara utama Kemelah lihat ialah bekalan asas yang sampai lewat di PPS terputus hubungan seperti di Kampung Choh dan Kampung Pogoh Tengah, Kampung Tekan dan beberapa buah PPS yang lain meski pun barang pangkalan telah dihantar, namun kerisauan di hati tetap ada dengan segala kemungkinan. Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan membekalkan bekalan banjir pangkalan hadapan akan tetapi saya berharap akan berkurangan isu bekalan makanan asas lambat sampai ke PPS hingga mangsa terpaksa berlapar hingga petang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah menyambut baik Belanjawan 2024. Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat yang dibentangkan Khamis lalu. Meneliti satu persatu, helaian demi helaian, Kemelah tertarik dengan Teras Ketiga, Jaringan Keselamatan Sosial Memperkasa Perumahan Rakyat. Sebanyak RM10.4 juta diperuntukkan bagi program perumahan rakyat, pelaksanaan konteks pengurusan fasiliti. RM7.5 juta program perumahan rakyat, program penyelenggaraan perumahan dan RM13.8 juta membaik pulih rumah rakyat, kerja-kerja membaik pulih rumah golongan miskin.

Kemelah ingin menyatakan pembinaan rumah PPR amat perlu dalam kawasan Kemelah. Meski pun Kemelah terletak di kawasan luar bandar Kemelah melihat golongan B40, asnaf dan miskin tegar agak sukar hendak keluar dari kepompong tersebut meski pun telah dibantu dengan pelbagai agensi seperti MAIJ, JKM, e-Kasih serta bantuan-bantuan sara hidup yang lain dalam arus perdana dengan peningkatan ekonomi yang tinggi, kadar sewa rumah juga kebanyakannya tidak kurang dari RM500.00 yang sedikit sebanyak akan membimbangkan dengan hanya lepas pergi bayaran sewa sahaja. Bantuan tersebut tidak termasuk bayaran utiliti penerima yang lain.

Kemelah juga memohon agar kerajaan negeri meneliti kembali projek perumahan berdekatan dengan Kolej Segamat telah terbengkalai begitu lama. Kemelah selalu dibanjiri oleh pemilik perumahan tersebut yang masih dipotong gaji bulanan hingga sekarang, bahkan ada yang sesetengah yang telah melunaskan semua bayaran tetapi tidak nampak bayang projek tersebut akan diperbetulkan semula.

Kemelah ingin menarik perhatian YB EXCO berkaitan isu bangunan baharu KEMAS. Kemelah merupakan kawasan luar bandar yang majoritinya penduduk berpendapatan rendah. Oleh itu, kemasukan Tadika KEMAS perlu untuk pelajar baharu masuk. Tadika berkenaan di Bandar Putra sebuah tadika telah terlibat dengan kebakaran pada 5 hari bulan Ogos 2022. Rintihan dari itu sehingga hari ini pelajar terpaksa menumpang di Balai Islam, Bandar Putra. Kemelah mohon pertimbangan sewajarnya agar anak-anak tadika ini kembali seperti sedia kala sebelum bangunan itu terbakar.

Yang Berhormat Speaker, Kemelah ingin menarik perhatian Dewan mulia ini mengenai rumah perlindungan yang dicadangkan setiap daerah dan sepatutnya mempunyai perumahan tersebut. Sebelum ini Mahkota ada membangkitkan isu tidak kurang jauh beza dari Kemelah dan Kemelah menyokong sepenuhnya kerana ianya melibatkan mangsa untuk mendiami rumah perlindungan di situ. Rumah ini bukan sahaja mangsa rumah terbakar, bahkan mungkin boleh didiami mangsa yang diusir oleh keluarga yang hilang tempat berteduh Acap kali sekiranya berlaku kebakaran, secara amnya mangsa tidak boleh mendiami di kawasan tersebut lagi sehingga ditaksirkan ianya selamat diduduki. Oleh kerana begitu, sebagai wakil rakyat sememangnya kita perlu menggalas tugas untuk memastikan mereka tidak tidur beralaskan tikar, berbumbungkan bulan dan bintang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah mendukung penuh Teras keempat dengan penyediaan bas percuma yang kita semua maklum memberi kesan positif kepada Bangsa

Johor dan perlu diteruskan di masa mendatang. Melihat kepada pendekatan ini Kemelah memohon agar laluan bas percuma ini dapat ditambah dan dikaji semula mengikut keperluan selain tempoh waktu beroperasi bas tersebut.

Pengguna bas percuma ini kebanyakannya sudah menjadi penumpang tegar sehingga pemandu bas sendiri akan ingat pada waktu sekian, di tempat sekian. Bagi memastikan kemudahan ini digunakan secara lebih optimum, Kemelah mencadangkan pergerakan bas ini diawalkan dan melihat kembali jadual waktu persekolahan. Perkara ini berhubung dengan pelajar miskin dan ibu bapa yang memang selalu menggunakan servis ini bagi perjalanan harian anak-anak mereka ke sekolah. Dengan ini, maka tujuan dan hasrat kerajaan negeri akan lebih tercapai dengan penggunaan secara menyeluruh kemudahan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Teras keempat, kemudahan keperluan asas sebanyak RM30.25 juta telah diperuntukkan bagi memperluaskan bekalan elektrik untuk menaik taraf 13 tan voltan tinggi 33 KV di daerah Johor Bahru. Sebanyak RM127.97 juta bekalan elektrik telah diperluaskan untuk membangunkan 3 pencawang pembahagian umum utama di kawasan perindustrian Senai, Kulai, Yong Peng dan Tangkak.

Jika direnung kembali persekitaran DUN Kemelah banyak kawasan industri terletak dalam DUN ini jika dibandingkan dengan DUN berdekatan Kemelah. Meski pun industri ini masih ditakuk lama tidak dapat berkembang pesat seiring dengan peningkatan pengeluaran produk mereka memandangkan isu-isu asas tidak selesai sehingga hari ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat sebuah kawasan luas yang sepenuhnya mengusahakan pelbagai produk di Segamat Inland Port masih lagi mengalami masalah bekalan elektrik walaupun sudah berkali-kali kertas kerja cadangan diutarakan kepada pihak berkaitan demi kestabilan bekalan elektrik di kilang mereka, kawasan Segamat Inland Port ni terapat pelbagai jenis kilang dan saya sendiri telah menerima cadangan dari pelabur luar untuk mengusahakan kilang baharu ini di terminal tersebut namun agak mendukacitakan bila mereka membuat analisis terdapat masalah utama yang menyebabkan mesin tidak dapat beroperasi mengikut jadual kerana bekalan elektrik kerap terganggu di kawasan ini. Kemelah mencadangkan agar sekiranya stesen elektrik tidak dapat dibina dengan skala yang besar dapatlah kiranya bekalan elektrik dibekalkan tanpa gangguan yang kerap memandangkan mesin-mesin besar ini memerlukan voltan lebih tinggi dari kegunaan harian dari di rumah serta bila terganggu, hasil produk juga kurang berkualiti.

Tanah generasi kedua FELDA Kemelah. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Kemelah terdapat dua buah FELDA iaitu FELDA Redong dan FELDA Kemelah, pada masa yang sama kedua-dua buah FELDA ini masih lagi menuntut dan ternanti-nantikan lot-lot tanah bagi generasi kedua ini. Sehingga hari ini generasi kedua FELDA Redong dan FELDA Kemelah masih menanti racikan terkini untuk dikurniakan kepada mereka. Saya difahamkan perkara ini masih dalam proses, di mana pendapatan lebih 100 penerima kedua-dua buah FELDA tersebut. Kemelah berharap seiring dengan inisiatif belanjawan yang di bentang terdahulu, perkara seperti ini dapat memberi lebih kemakmuran dan kesejahteraan kepada generasi kedua di masa akan datang.

Ada juga tanah yang telah diusahakan oleh peneroka FELDA boleh diteruskan oleh generasi kedua dan ada juga generasi kedua yang masih kosong, tidak mempunyai asas dan hanya berharap agar kelulusan tapak tanah generasi kedua dapat dikurniakan dalam tempoh terdekat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras keenam, orang muda. Kemelah mendukung Hasrat kerajaan negeri yang sememangnya sentiasa peka dan cakna berkaitan isu-isu hal orang muda dari dahulu lagi kerajaan negeri tidak pernah mengetepikan hasrat orang-orang muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan masa depan. Untuk melahirkan belia yang lebih

berpolitik bukan sahaja dengan melahirkan mereka yang bijak pandai bahkan Kemelah berpendapat tubuh badan fizikal yang sihat melahirkan golongan belia yang bijak pandai. Dalam DUN Kemelah masih tidak mempunyai satu kawasan yang dikhaskan untuk golongan belia berkumpul di satu tempat. Alangkah baik, sekiranya mini stadium yang telah diusahakan sebelum ini dapat diteruskan bagi mendapatkan anak muda beriadah seperti gelanggang futsal, gelanggang bola jaring dan sukan-sukan yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah juga ingin menarik perhatian pihak PBT terutamanya mengenal pasti kawasan taman yang selalu dijadikan tempat berkumpul golongan anak muda waktu malam untuk diterangi dengan lampu-lampu dan menggantikan lampu yang telah rosak. Perkara ini dilihat seperti masalah kecil tetapi memberi impak tinggi dengan suasana yang kelam serta mengundang berlakunya pelbagai jenayah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, karnival. Ingin saya mohon perhatian Pihak Berkuasa Tempatan dan EXCO Tempatan untuk mengkaji semula karnival-karnival yang bakal diadakan di setiap kawasan terutama menjelang musim perayaan di negeri Johor. Perkara ini jelas apabila setiap kali musim perayaan, cuti sekolah atau cuti sekolah panjang, setiap daerah akan dibanjiri oleh pelbagai karnival, ekspo dan jualan-jualan yang mana kita tahu salah satu ianya boleh mendatangkan hasil kepada PBT setempat. Namun begitu, janganlah kita lupa dan alpa dalam kegembiraan mereka yang terdapat tangisan bagi peniaga-peniaga kita. Kemelah ingin menyeru bahawa keluhan yang diterima daripada peniaga-peniaga setempat, rata-rata berdukacita apabila sesebuah karnival dianjurkan kerana peniaga yang memonopoli sesebuah karnival itu ialah peniaga dari luar negeri seperti Pakistan, India, Kemboja dan dari lain-lain negeri. Semestinya peniaga ini tidak membayar cukai seperti mana peniaga tempatan di sekitar kawasan tersebut. Kemelah berharap PBT dapat membendung perkara ini, seperti ini demi mengutamakan peniaga tempatan terlebih dahulu sebelum peniaga dari luar menguasai karnival kawasan kita. Alang-alang madu kelulut, pokok asam tempat bersarang, pandang-pandang semua sudut, Johor jelas makin cemerlang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, melihat helai demi helai antologi pembangunan yang berlipat-lipat kini tentunya seluruh rakyat Johor terutamanya penduduk Segamat sangat menghargainya. Kemelah yakin sungguh walau daerah Segamat terletaknya di ceruk, tidak akan berada di pinggiran lagi kerana Kemelah melihat kesungguhan kerajaan negeri merapatkan jurang pembangunan sambil menolak ke tepi apa-apa juga cabaran yang menghalang mahupun pancaroba yang cuba-cuba menduga. Senada dengan ungkapan ini, Kemelah mohon mengharap agar apa yang diketengahkan awal-awal tadi hingga ke akhir, kiranya juga mendapat perhatian dan pertimbangan kerana pokok pangkalnya kerajaan sememangnya komited membela nasib rakyat, mendengar suara hati setiap rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kelantangan lidah berbicara ini, Kemelah ingin memohon maaf andainya terguris hati dengan perbahasan Kemelah sebentar tadi yakni tidak lain tidak bukan hanya untuk kebaikan dan meningkatkan lagi infrastruktur yang sedia ada demi kesejahteraan warga Kemelah. Kemelah juga menyusun 10 jari dengan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar dan semua barisan EXCO yang tidak pernah bosan membantu dan menyokong segala usaha Kemelah. Sebelum ini memberi manfaat kepada penduduk DUN Kemelah. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kemelah. Saya jemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk

Speaker, saya Pulai Sebatang. Pantun. Di dalam timba airnya jernih, air dibuang mencuci alas, Datuk Speaker terima kasih beri ruang saya berbahas. (Dewan bertepuk). Hari ini saya tak adalah bercakap isu banyak tapi saya nak sentuh empat perkara, yang pertama berkaitan dengan JPS dan juga galian parit tanah, lepas itu saya nak sentuh berkaitan lampu solar, lepas itu berkaitan dengan urus tadbir kerajaan negeri di bawah teras pertama belanjawan dan yang akhir sekali berkaitan dengan isu Palestin.

Tapi sebelum itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sebagaimana rakan-rakan Ahli Yang Berhormat lain nak ucap beberapa ucapan tahniah kepada Tuanku Sultan. Tuanku, patik ingin merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan Allah peliharakan Tuanku Sultan sempena Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November yang lalu. Patik juga turut ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik mewakili rakyat Pulai Sebatang amat yakin dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku kelak Malaysia akan menjadi lebih makmur, harmoni dan diberkati. Daulat Tuanku.

Seterusnya, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim yang membawa gelaran Dato’. Dengan penganugerahan kurniaan darjah kebesaran Dato’ Sri Mulia Ibrahim Johor kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ianya merupakan satu pengiktirafan terhadap cara pengurusan dan tadbir urus yang cemerlang dan sekali gus turut mengiktiraf kerja-kerja yang kami ADUN-ADUN dan semua jabatan-jabatan dah laksanakan selama ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tuanku gembira dengan sukacita Tuanku anugerah dan kurniakan darjah kebesaran kepada Menteri Besar Johor kita. Menteri Besar kita gembira dengan prestasi kerja yang kita tunjuk, Menteri Besar hadiahkan kita dengan bonus dua bulan gaji. (Dewan bertepuk). Terima kasih Tuanku, terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker seingat sayalah sepanjang saya berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini selama 22 tahun, saya tak pernah merasa bonus dua bulan gaji ini, jadi hari ini pun saya rasa sangat gembira dan bertuah. Dan di kesempatan ini saya nak umum satu perkara. Saya nak mengucapkan juga ucapan terima kasih dan penghargaan saya kepada seluruh staf Pejabat DUN Pulai Sebatang yang telah memberikan kerjasama yang baik bersama-sama dengan saya demi untuk Pulai Sebatang. Jadi, dekat sini nak umum oleh kerana saya gembira, saya juga turut nak hadiahkan semua kakitangan Pejabat DUN Pulai Sebatang dengan bonus dua bulan gaji juga. Mari bersama sepakat semua, usahlah susah bersedih hati, kita bekerja dengan gembira, moga Allah sentiasa berkati. Yang Berhormat Datuk Speaker ini mungkin dia orang ada dekat luar ini, dia orang tak tahu lagi ini Yang Berhormat Datuk Speaker eh, dia orang dengar mesti dia orang gembira, Alhamdulillah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita semua telah pun mendengar pembentangan Belanjawan Johor bagi tahun 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bertemakan Memacu Pembangunan Menyejahterakan Rakyat. Saya yakin bagi merancang dan merangka kertas pembentangan Belanjawan Johor bagi tahun 2024 ini, ianya telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu. Saya difahamkan sejak dua bulan ini hampir setiap Sabtu, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi akan pergi ke BPENJ bagi meneliti dan menyemak kertas Belanjawan Johor 2024 sebelum dibentangkan kepada kita semua di dalam Dewan ini pada hari Khamis yang lalu. Begitu komited dan teliti sekali Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita, meneliti dan menyemak supaya Belanjawan 2024 ini adalah yang terbaik buat rakyat Johor. Belanjawan yang mengambil kira segala genap

pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak, daripada pelbagai aspek dan sudut pandang serta mengambil kira suara hati rakyat yang terbanyak. Syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Johor juga syabas dan tahniah saya ucapkan kepada barisan EXCO-EXCO dan juga jabatan-jabatan yang membantu memberi input dalam menyediakan kertas pembentangan Belanjawan Johor 2024. Rakan-rakan Ahli Yang Berhormat saya nak ucap tahniah juga kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat kerana apa, kerana kita juga turut memberikan cadangan, pandangan dan idea dalam perbahasan kita semua pada sidang-sidang Dewan yang lepas untuk kerajaan negeri pertimbangkan dan diambil kira dalam merangka Belanjawan Johor 2024 ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan saya tahun lepas iaitu pada 6 hari bulan 12, 2022 dan pada tahun ini iaitu pada 20 hari bulan 3, 2023, saya ada minta dan saya ada cadangkan agar pembersihan parit dan penyelenggaraan pemotongan rumput di jalan-jalan kampung yang dilaksanakan oleh JPS diserahkan semula kepada ketua kampung ataupun JPKK yang mana sebenarnya sebelum ini kerajaan negeri dah pernah buat pun. Dan Alhamdulillah di dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024, Teras Pertama bagi Tadbir Urus Kerajaan di bawah Strategi Ketiga untuk Memperkasa Institusi Akar Umbi dan dimasukkan di dalam inisiatif pertama sebanyak RM12 juta telah diperuntukkan kepada JPKK untuk menyelenggara parit-parit di kawasan pertanian dan kampung-kampung. Kenapa? Kenapa nak serah balik pada ketua kampung? Kerana ianya lebih sesuai sebab kita tak menafikan JPS sudah laksana kerja dengan sangat baik, tetapi kalau parit-parit dekat kampung itu orang yang lebih mahir nak tahu gali parit mana dulu berbanding parit lain adalah orang kampung itu sendiri yang diketuai oleh kampung dan juga JPKK. Sebab itu kita minta diserahkan semula kepada ketua kampung dan kita faham peruntukan itu tak banyak, peruntukan itu sikit, jadi ketua kampung tahu nak dulukan parit yang mana berbanding parit yang lain.

Cuma persoalannya, adakah peruntukan RM12 juta ini yang diumumkan ini yang diuruskan oleh JPKK di bawah seliaan JPS, adakah merupakan peruntukan tambahan daripada kos penyelenggaraan tahunan JPS atau RM12 juta itu ditarik daripada kos penyelenggaraan tahunan sedia ada? Saya harap ianya adalah peruntukan tambahanlah eh, bukan peruntukan yang ditarik daripada bajet tahunan sedia ada. Sebab saya teliti juga, di dalam bajet berkali-kali saya teliti saya tak nampak jelas tentang adanya pertambahan peruntukan tentang gali parit ini sedangkan perkara ini sangat serius untuk membantu kita menangani meminimumkan banjir. Tetapi di dalam bajet ada bentang tentang nak naik taraf parit utama Taman Damai Jaya Skudai, ada bentang nak naik taraf pasal kawasan parit di kawasan Pasir Gudang, nak menyelenggara Sungai Taman Johor dan Sungai Taman Anggerik dan juga Sungai Melana. Tetapi, ada diumumkan peruntukan sebanyak RM18.9 juta secara umum untuk naik taraf sistem saliran kerja-kerja berkaitan pengairan, pengawalan hakisan dan pencegahan banjir, adakah ini peruntukannya? Dan kalau ini peruntukannya, macam mana cara nak bagi. Kita mintalah YB EXCO terangkan pada kita macam mana nak bagi peruntukan ini, kalau nak bagi kepada 10 daerah macam sikit baru RM1.89 juta. Dekat Pontian, panjang parit tanah kampung ada 1,400 kilometer. Tahun ini peruntukan kerajaan negeri ada bagi dekat RM5 juta pun tak dapat nak cover keseluruhan panjang jalan, hanya dapat cover 40% sahaja daripada 1,400 kilometer parit tanah yang berada dalam daerah Pontian. Jadi, saya harap YB EXCO dapat beri penjelasan akan isu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya di dalam perbahasan saya tahun lepas pada 22 hari bulan 6, 2022, saya ada mohon untuk pemasangan lampu jalan di dalam kawasan DUN Pulai Sebatang. Lepas itu, kemudiannya saya bawa lagi sekali dalam perbahasan saya pada 6 hari bulan 12 tahun yang sama iaitu tahun lepas, mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan Program Pencahayaan Kasih Bangsa Johor yang mana peruntukan ini diberi kepada setiap ADUN melalui Pejabat Daerah dengan memasang lampu solar di jalan-jalan kampung dan juga persimpangan yang gelap dan berisiko berlaku kemalangan pada waktu malam. Dalam belanjawan tahun lepas, untuk tahun ini MB ada umum sebanyak

RM12 juta nak pasang lampu jalan tapi hanya meliputi kawasan Jalan Tampoi, Jalan Tebrau, ini yang bajet yang di umum tahun lepas untuk tahun ini, hanya meliputi Jalan Tampoi, Jalan Tebrau-Pandan, Lebuhraya Pesisir Pantai-Permas Jaya, kawasan pentadbiran Iskandar Puteri dan pemasangan lampu di persimpangan serta jalan-jalan negeri yang hanya dapat cover 21 kilometer je. Jadi, belanjawan yang di bentang tahun lepas untuk tahun ini memang tak ada canlah Pulai Sebatang nak mohon, memang tak ada canlah Pulai Sebatang nak dapat. Setahun menanti, akhirnya Khamis lepas dalam belanjawan, dalam belanjawan, MB ada umum di dalam Teras Ketiga Agenda Maju Johor, strategi pertama inisiatif keempat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta bagi pemasangan 2,230 unit lampu LED untuk kawasan luar bandar. YAB MB juga ada beritahu dalam ucapan. Apa YAB MB kata? YAB MB kata Ahli-Ahli Yang Berhormat yang sudah ada senarai boleh bagi kepada YB EXCO berkenaan. Jadi, hari ni Pulai Sebatang memang sudah ada senarai pun. Kami sudah ada senarainya sudah daripada tahun lepas lagi. Jadi hari ini saya siap bawa surat. Saya nak serah kepada YB EXCO yang berkenaan surat permohonan untuk lampu jalan ini dipasang di kawasan Pulai Sebatang. Pulai Sebatang nak cop 200 batang lampu solar. Ada dua surat, satu saya nak serah kepada YB EXCO siap berserta dengan senarai jalan-jalan yang kita nak pasang, lagi satu surat ini saya nak simpan dalam fail pejabat saya, nak minta YB EXCO cop dan tandatangan terima supaya senang saya nak buat rujukan permohonan follow up. Terima kasih.

Speaker

Kalau dapat tambah bonus tiga bulan ya.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Itu insya-Allah tahun depanlah mungkin. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai rakyat Johor, saya rasa amat berbangga apabila pentadbiran kerajaan negeri menitik beratkan kakitangannya untuk meningkatkan diri dalam pendidikan. Bak kata bidalan, ilmu itu lebih baik dari kekayaan kerana kekayaan itu harus dijaga sedangkan ilmu menjaga kita. Di dalam pembentangan belanjawan tahun lepas untuk tahun 2023 iaitu tahun ini, YAB MB ada umum tiga pegawai JCS tamat pengajian Ijazah Doktor Falsafah, 25 pegawai JCS serta pegawai pengurusan dan profesional Pejabat SUK menerima penganugerahan Sarjana Sains Kaunseling dan ditauliahkan sebagai Kaunselor Berdaftar oleh Lembaga Kaunselor Malaysia. Dua pegawai JCS sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Singapura. Ini untuk tahun lepas. Untuk tahun ini di bawah tadbir urus kerajaan teras pertama, Yang Amat Berhormat memperuntukkan hampir RM5 juta bagi menyiapsiagakan anggota perkhidmatan tadbir negeri Johor ke program-program Pasca Siswazah dan Ijazah Doktor Falsafah serta pelbagai kursus jangka pendek sama ada di dalam mahupun di luar negara termasuklah menghantar pegawai kanan kerajaan negeri ke Harvard dan Oxford University, US. YAB MB ada kata ini mesti ada ramai ADUN nak ikut ni. Memang kalau boleh YB Datuk Speaker, YB Datuk Speaker nak ikut, tapi kami ini tidak boleh tinggal kawasan lama. Nanti jadi isu, backfire pula kepada kerajaan negeri.

Di dalam Belanjawan 2024, YAB MB juga ada umum seramai 103 orang Pegawai Tadbir Negeri Johor telah mengikuti Program Pasca Siswazah, lapan orang telah memperoleh Ijazah Doktor Falsafah, 95 orang memiliki Ijazah Sarjana ataupun Master, 50 orang pegawai akan dihantar mengikuti program Sarjana dan PhD. Manakala Akademi JCS sedang mempersiapsiagakan senarai calon-calon bagi mengikuti program Sarjana di National University of Singapore and US dan juga Nanyang Technology University, NTU yang mana ini ditaja penuh oleh kerajaan Singapura. Semua program-program yang saya sebutkan tadi di bawah Belanjawan 2024 adalah program yang sangat baik, imej yang sangat baik kepada Kerajaan Negeri Johor. Ianya sudah tentunya di bawah Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor atau lebih dikenali sebagai Akademi JCS. Cuma persoalannya, adakah bidang yang akan diambil oleh Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor sama ada nak ambil PhD ataupun Master ini ditentukan sendiri oleh tuan badan dia nak ambil bidang apa ataupun ditentukan oleh Akademi JCS mengikut kesesuaian jabatan yang mereka wakili supaya

nanti segenggam PhD dan Master yang mereka perolehi itu boleh digunakan dalam membantu meningkatkan tahap perkhidmatan kerajaan negeri.

Yang kedua, saya juga nak cadangkan perlu adanya kayu pengukur atau KPI bagi setiap pegawai tadbir yang telah memiliki Master dan PhD dengan ilmu yang ada, apakah penambahbaikan yang telah dibuat bagi membantu menaik taraf tahap perkhidmatan dan pengurusan urus tadbir kerajaan negeri.

Yang ketiga, saya juga nak cadangkanlah agar kami-kami Ahli Yang Berhormat ini juga turut didedahkan dengan program-program kursus jangka pendek berkaitan pengurusan dan pentadbiran bagi memberi ilmu dan pengalaman kepada kami dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Saya nak ucap tahniahlah kepada semua rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sebab anda semua multi talented, anda semua multi tasking. Kejap-kejap jadi JKR, kejap-kejap jadi perikanan, kejap-kejap jadi petanilah pula, dan lepas jadi petani jadi JKM pula, dah jadi JKM jadi pula Baitulmal, lepas itu nak banjir jadi pula JPS, ini nak naik sekolah jadi pula PPD. Itu kat luar, dekat pejabat, pejabat kami kitalah ketua kewangan, kitalah ketua pentadbiran, dan kitalah segala-galanya. Baru-baru ini dapat pula keluarga angkat dan anak angkat. Bila ada masalah contohnya, contohnya katalah masalah berkaitan dengan tanah, rakyat tidak telefon tuan-tuan, rakyat tidak pergi ke pejabat tuan-tuan. Kalau pergi ke pejabat tuan-tuan pun, mungkin bukan tuan-tuan yang mengadap. Yang mengadap ini pekerja-pekerja bawahan. Tapi rakyat jumpa siapa. Rakyat jumpa kami ini ADUN-ADUN. ADUN-ADUN yang tidak ada kepakaran dan cetek ilmu tentang tanah dan lain-lain. Sebab itu tadi saya cadangkan dan saya minta adakan kursus pendek buat kami ADUN-ADUN kerana kami juga membawa imej pentadbiran kerajaan negeri di mata rakyat. Kursus kami tidak payahlah jauh-jauh, tidak payah kat Harvard, tidak payah kat Oxford University. Dekat New York pun boleh, New York Hotel Johor Bahru. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker, kami ADUN-ADUN tetap terus berusaha dengan semangat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan walaupun dirintangi kami dengan pelbagai dugaan dan cabaran kerana apa, it’s in the blood, it’s in our blood, our passion, we are happy to serve. Cara beradab mohon panjangkan, kursus diberi membantu khidmat, amanah tanggungjawab kami laksanakan, moga memenuhi kehendak rakyat.

Akhirnya isu Palestin, Yang Berhormat Datuk Speaker marilah kita sama-sama berdoa agar bumi Palestin kembali aman damai seperti sebelum tahun 1948. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan YB EXCO Agama kerana telah menganjurkan Perhimpunan Solidariti Palestin di Masjid Sultan Iskandar yang lalu. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker di mana Yang Berhormat Datuk Speaker di dalam pemasyhurannya pada Ahad yang lalu ada menerangkan perjuangan sah Hamas di Gaza. Isu Palestin ini bukan semata-mata isu agama, isu Palestin ini bukan semata-mata isu kaum, ianya adalah berkaitan hak dan kebebasan manusia. Pengganas Israel mengebom semua rumah ibadah, rumah ibadat, mengebom sekolah, hospital, wanita, kanak-kanak dan segalanya tanpa sifat belas kasihan demi kerana nak merampas tanah Palestin dan mendirikan negara haram Yahudi. Siapa sahaja tidak kiralah sama ada yang ada dalam Dewan ini ataupun yang berada di luar Dewan ini, kalau tidak terkesan dan tidak merasa sedih dengan tindakan kejam Israel Zionis ini kepada rakyat Palestin, selayaknya mereka ini digelar manusia berhati syaitan.

Saya sangat setuju dengan kenyataan Yang Berhormat Datuk Speaker iaitu selain membantu dengan bantuan kewangan dan perubatan, kita wajib istiqamah memboikot apa sahaja perniagaan dan barangan yang ada kaitan dengan Yahudi sebagai tanda solidariti kita kepada rakyat Palestin. Kita juga ramai-ramai harus share di media sosial masing-masing tentang kekejaman Zionis supaya biar semua dunia tahu dan sedar akan pelanggaran undang-undang yang dibuat Israel Zionis ini.

Pantun akhir kata, bentang belanjawan penuh hemat, pentadbiran terbilang rakyat bahagia, maju pembangunan menyejahterakan rakyat, Johor gemilang bangsa sejahtera. Bunga kemboja si bunga raya, bunga teratai kembang melata, sekian sahaja perbahasan saya, maaf andai terkasar bahasa. Pulai Sebatang mohon menyokong. Pantun akhir, Pak Kopit menjahit kopiah, kopiah dijahit baldu yang utuh, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Tahniah dan kalau ada YB-YB yang nak ikut Pulai Sebatang iaitu bagi bonus dua bulan kepada kakitangan silakan. Saya nampak Layang-Layang boleh, sebab tengok banyak sangat hasil kebun itu kan. Jadi, Ahli-Ahli Yang Berhormat saya tangguhkan selama 15 minit, kita masuk balik 3.40 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 3.25 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 3.40 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Perbahasan bersambung semula. Dengan hormatnya dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirrahmanirrahim, (Doa) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Haji Samsolbari bin Jamali, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, sidang Dewan yang saya hormati sekalian.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Alhamdulillah segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas izin dan kehendakNya jua maka kita dapat berkumpul menghadiri sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. Di kesempatan ini dengan penuh hormat dan kerendahan hati, saya merafak sembah merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi negeri Johor yang tercinta ini. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa memberi galakan, motivasi dan inspirasi dalam memacu pembangunan negeri Johor ini. Patik turut ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Marilah kita berdoa agar pasukan JDT dapat mengekalkan prestasinya serta menempa kejayaan demi kejayaan dalam penguasaan sukan yang menyatukan Bangsa Johor ini.

Di kesempatan ini juga, saya seluruh rakyat di DUN Bukit Naning mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas kecemerlangannya memacu ekonomi negeri Johor. Semoga kecemerlangan ini dapat mempertingkatkan lagi kecemerlangan Bangsa Johor.

Mentari terbit sungguh mempesona, beburung berkicau tanda gembira, pentadbiran terurus cekap dan cakna, Johor prihatin rakyatnya sejahtera. Air di kali dingin sekali, dibuat mandi si anak cucu, pengurusan profesional terus diyakini, pembangunan holistik bersama dipacu.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Dewan yang dihormati sekalian, sebagaimana kita sedia maklum pembangunan dan pembentukan sahsiah insan amat penting di dalam membentuk sesebuah masyarakat yang berjaya. Di mana ianya melibatkan proses penerapan, membina dan mencapai kemajuan insan atau masyarakat. Dengan erti lain kata, pembinaan insan yang tepat dan betul dapat membantu sesebuah negara dalam melahirkan masyarakat dan juga pimpinan yang cemerlang yang dapat memastikan kejayaan di masa depan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pembangunan dan pembentukan sahsiah insan hanya akan dapat dijayakan melalui latihan dan penerapan motivasi dalam usaha melahirkan generasi muda yang berketerampilan serta mempunyai semangat jati diri dan integriti menjadi perkara pokok dalam penghasilan kualiti pengurusan dan pentadbiran sebagaimana yang diharapkan. Keikhlasan dalam menjalankan tugas dan amanah penting ini, ia harus wujud dan dipupuk dalam pemikiran setiap penjawat awam. Semuanya ini bertitik tolak dari niat atau pun nawaitu kita. Inilah yang cuba diterapkan dalam sistem pengurusan dan pentadbiran kita selaras dengan usaha yang dinyatakan melalui teras inisiatif dan strategi yang dibentangkan dalam belanjawan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita baru-baru ini.

Pembangunan modal insan perlu diteruskan dan diperkasakan kerana ia dirujuk sebagai pembangunan sumber manusia yang perlu digilap di peringkat awal iaitu semasa seusia muda. Kerana ia merupakan elemen penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan tahan lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan serta bertunjangkan sains dan teknologi. Ini bertepatan dengan tema belanjawan kita bagi tahun 2024 iaitu Maju Johor, Pemacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat dengan menggariskan 6 teras dalam urus tadbir negeri.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pendidikan merupakan satu proses mendidik sorang insan untuk terus memperolehi keilmuan sehingga dapat mengubah tingkah laku serta sikap daripada negatif kepada positif. Pendidikan juga dapat mengembangkan potensi individu ke arah positif seperti membina akhlak budi pekerti dan peribadi yang mulia. Malahan pendidikan membangunkan insan daripada aspek sosial iaitu sumbangan seseorang kepada diri masyarakat serta negeri Johor.

Justeru, strategi memperkasakan institusi akar umbi melalui inisiatif meningkatkan keupayaan iaitu JPKK amatlah dialu-alukan. Ini bukan sahaja menjadi nilai tambah terhadap kepimpinan peringkat kampung bahkan menambah ilmu dan pengalaman mereka melalui pendedahan yang berguna bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah kampung. Belanjawan Johor memacu pembangunan, memenuhi hasrat, mencapai impian, penyampaian berkesan, tingkatkan pencapaian, cekap berintegriti, memenuhi wawasan. Belanjawan di bentang penuh strategi, inisiatif diatur sedia di laksana, bersama bergerak penuhi inspirasi, perkhidmatan mantap tanggungjawab semua.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, penanda aras kualiti pengurusan dan pentadbiran kerajaan di semua peringkat haruslah ditambah baik dan dipertingkatkan melalui strategi yang digariskan di bawah teras penyampaian perkhidmatan awam yang responsif, saya turut menyarankan agar konsep pusat perkhidmatan setempat iaitu one stop centre, dengan izin harus diperluas dan diperkasakan oleh jabatan-jabatan untuk menyelaras dan mempercepatkan proses kelulusan permohonan terutamanya permohonan yang memerlukan input dan ulasan daripada pelbagai jabatan termasuk jabatan dalaman dan jabatan atau pun agensi luaran.

Antara lain, tanggungjawab pusat perkhidmatan setempat ini termasuklah menerima permohonan daripada pelanggan yang berkaitan seterusnya proses permohonan tersebut untuk pertimbangan dan kelulusan. Dengan penubuhan pusat perkhidmatan setempat ini, pelanggan tidak perlu pergi dari satu jabatan ke satu jabatan yang lain untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan mereka. Aduan yang merupakan salah satu ukuran utama terhadap keberkesanan pentadbiran kerajaan harus diambil serius. Bagi menangani isu aduan dan responsif, cepat dan berkesan membolehkan kerajaan melangkah ke fasa urus tadbir yang lebih baik, dengan mengambil langkah-langkah proaktif pencegahan dan penambahbaikan berdasarkan isu aduan yang diterima. Ia agar kredibiliti kerajaan akan sentiasa terpelihara. Kerajaan di saran agar menyediakan platform atau pun saluran aduan yang lebih mudah, efisien dan pantas untuk rakyat menyatakan pandangan mereka secara lebih bertanggungjawab. Bagi meningkatkan keberkesanan dan memastikan jentera pentadbiran sentiasa cekap dan berkesan, pentadbiran kerajaan negeri perlu memastikan setiap prosedur kerja dan pengurusan kualiti melalui KPI mesti dipatuhi.

Sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan. Justeru, setiap agensi amat digalakkan untuk memperkemaskan prosedur kerja bagi mempercepatkan proses kerja dan membantu membuat keputusan dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun, isu pelindungan data, keselamatan siber dan penggunaan kecerdasan buatan iaitu AI, dengan izin yang hangat diperkatakan ini harus diteliti, diperhalusi dan ditangani dengan berkesan agar tidak menjadi ancaman keselamatan, dieksploitasi dan dimanipulasi sistem tadbir urus sehingga boleh menggugat kelancaran permohonan ini tadi.

Persoalan integriti dan salah laku penjawat awam iaitu seperti rasuah, pecah amanah, gangguan seksual dan penyalahgunaan dadah harus ditangani secara tegas dan berkesan. Agar perilaku dikenakan hukuman yang setimpal serta menjadi pengajaran kepada pihak yang lain. Pemberian sagu hati sebagai penghargaan adalah pemangkin untuk motivasi agar perkhidmatan terbaik serta menjadi contoh dan ikutan kepada penjawat yang lain. Dalam dunia digital ini harus menjadi perintis dalam menginovasi dan meningkatkan keupayaan teknologi melalui penggunaan alat digital di pejabat-pejabat kerajaan agar ianya dapat mempercepatkan urusan dan pentadbiran. Ia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta merangsang perkembangan perusahaan mikro kecil dan sederhana iaitu PMKS yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi.

Dalam pada itu, kami di DUN Bukit Naning mengharapkan agar kerajaan terus memberikan fokus kepada pembangunan luar bandar agar masyarakat luar bandar seperti di kawasan saya agak luas, agar terus terbela dan terus merasa tempias pembangunan yang wujud seiring dengan kepesatan pembangunan bandar-bandar lain di negeri Johor ini. Di sini saya menggesa agar kerajaan negeri meneruskan momentum yang sedia ada dengan terus memberikan fokus terhadap isu-isu teras yang lain seperti isu infrastruktur awam, pemilikan rumah, pekerjaan, kebajikan dan kos sara hidup rakyat, pertanian, pendidikan serta industri berasaskan makanan yang sinonim dengan masyarakat kampung khususnya di DUN Bukit Naning.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai satu langkah penjimatan dan menyokong dasar kerajaan terhadap pengesyoran penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui. Saya mencadangkan agar kerajaan melestarikan alam dengan pemasangan lampu LED solar yang lebih mesra alam terutamanya di kawasan luar bandar. Meskipun ianya dilihat melibatkan kos awalan yang agak tinggi tetapi ia mampu menerangi jalan-jalan terutamanya di persimpangan dan di laluan kampung yang membantu mengurangkan risiko kemalangan selain menghindarkan kehadiran haiwan buas terutama di kawasan laluan awam kami.

Justeru itu, Bukit Naning merayu kerajaan negeri melalui agensi dan anak syarikat yang ada agar dapat memberikan sumbangan bagi pemasangan lampu LED solar ini demi kesejahteraan semua. Rancangan pembangunan yang diperkenalkan melalui Rancangan Tempatan Daerah Muar iaitu RTD 2030, adalah rancangan pembangunan menyeluruh yang amat baik sekali. Saya berharap agar kampung-kampung seperti Mukim Ayer Hitam di DUN Bukit Naning ini tidak terpinggir dan menerima manfaat daripada limpahan ekonomi yang terjana kelak. Satu lagi pusat ekonomi digital yang dibangunkan sebelum ini merupakan platform yang terbaik dalam membantu usahawan tempatan terlibat secara langsung dalam membangun, mempergiatkan, memberi ruang serta menarik minat terutamanya generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan berkonsepkan e-dagang.

Diharap kerajaan akan terus memperkasakan PEDi ini agar ianya terus relevan seiring dengan keperluan masyarakat luar bandar seperti kami di DUN Bukit Naning terutama dalam menyediakan infrastruktur jaringan Internet serta aktiviti yang dilaksanakan bagi menarik minat penyertaan penduduk setempat. Selain itu, peranan penguatkuasaan di bawah KPDN haruslah lebih proaktif dan agresif dalam menangani isu kenaikan harga barangan. Tindakan pantas perlu dilakukan bersama agensi-agensi lain yang terlibat semasa pemeriksaan di premis-premis perniagaan agar kawalan pencatutan harga dapat dikawal di mana keingkaran peniaga akhirnya akan membebankan pengguna terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih atas segala inisiatif yang digariskan oleh kerajaan negeri dalam belanjawan kali ini yang sudah tentunya berdasarkan maklum balas, pandangan, idea dan juga cadangan sebelum ini dari semua pihak termasuklah dari pihak Ahli-Ahli Yang Berhormat sendiri.

Belanjawan Johor 2024 yang digubal dengan berpegang kepada enam teras Maju Johor di dokong oleh 29 strategi dan disokong ampuh oleh 99 inisiatif ini amat di alu-alukan dan saya menyokong penuh apa yang telah dibentangkan. Saya menyeru kepada semua yang berada di Dewan ini, agar marilah kita bersama-sama bersatu hati bergerak sebagai satu pasukan melalui mandat kepercayaan dan amanah yang diberi untuk terus berusaha merealisasikan belanjawan yang dibentangkan agar mencapai sasaran dan objektifnya semaksimum mungkin.

Orang Acheh menanam padi, padi tumbuh nampak jarang, antara kasih dan budi, budi juga dikenang orang. Orang Daik memasang periuk, bawa pergi tanah seberang, baik budi ke laku elok, ke mana jauh di sayang orang. Akhir kalam, sekian wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Bukit Naning mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih dan tahniah Bukit Naning. Dijemput Yang Berhormat Skudai.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor dan Salam Malaysia Madani. Saya memulakan ucapan perbahasan ini dengan merafak sembah dan merakam ucapan setinggi tahniah atas sambutan hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada 22 November lalu serta setinggi-tinggi tahniah kerana telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Dan ucapan setinggi tahniah juga buat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai pemangku Sultan Johor kelak. Seterusnya saya juga ingin ambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dari Machap atas pengurniaan Darjah SMIJ dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan juga kepada

Kerajaan Negeri Johor yang bukan sahaja berjaya malah konsisten untuk membentangkan belanjawan lebihan pada tahun, bagi tahun 2024. Bahkan kalau kita lihat Kerajaan Negeri Johor juga berjaya mengutip hasil melebihi jumlah sasaran 100 peratus setakat ini berbanding unjuran dalam Belanjawan Johor 2023 sebelum ini. Syabas saya ucapkan kepada seluruh jentera pentadbiran dan juga penjawat awam Kerajaan Negeri Johor atas pencapaian tersebut.

Isu pertama yang saya ingin sentuh berkaitan menyejahterakan perumahan berstrata. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya menekuni belanjawan negeri dan persekutuan yang kedua-duanya memberi fokus kepada aspek perumahan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan seperti yang kita semua cakna, kepimpinan Duli Yang Maha Sultan Johor dan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Machap menyasarkan negeri Johor sebagai kuasa ekonomi serantau dan berstatus negeri maju pada tahun 2030. Dan sasaran tersebut bukan sahaja bakal merancakkan limpahan pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan malahan menjadi pemangkin pembangunan termasuk segmen hartanah di negeri Johor. Antaranya di kawasan Greater Johor Bahru dan Iskandar Malaysia. Pun begitu kepesatan pembangunan juga bakal memberi kesan kepada nilai dan ruang tanah yang terhad untuk membangunkan hartanah. Kediaman berstrata seperti pangsapuri dan kondominium kelak bakal menjadi pilihan memandangkan kediaman bertanah semakin berkurangan dan mahal. Saya terus membawakan suara rakyat terbanyak di luar Dewan yang mulia ini untuk perhatian kerajaan negeri berhubung isu perumahan sejahtera seiring dengan tema Belanjawan Johor 2024 iaitu Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat.

Dan isu perumahan sejahtera ini bukan soal bilangan rumah yang akan dibina namun tertumpu kepada aspek ketersediaan bagi memastikan perumahan di Johor ini kekal sejahtera untuk didiami dan ini bukannya isu Skudai tetapi isu merentas seluruh daerah yang mana isu kebersihan, keselamatan, keuzuran, ketidak aturan bakal menghantui perumahan berstrata selang beberapa tempoh dihuni. Masalah ini juga memberikan kesan kepada kualiti kehidupan dan juga kebajikan penduduk dan sekiranya kita mengabaikan aspek ketersediaan dalam pengurusan rumah berstrata ini, kelak lebih banyak lagi rumah berstrata akan mengikut jejak flat-flat uzur yang ada pada hari ini. Tak percaya, sidang-sidang Dewan sekalian, saya minta anda semua turun pergi ke kawasan-kawasan anda, lihat ke flat-flat atau pun apartmen di sana. Berapa banyak hutang penyelenggaraan yang mereka, pihak badan pengurusan perlu tanggung akibat keculasan penduduk sendiri.

Saya berikan contoh, di kawasan Medini sendiri. Flat-flat ataupun apartmen, kawasan apartmen mewah. Anda ke sana, anda boleh lihat sendiri satu unit rumah kadang-kadang ada tunggakan melebihi RM30,000.00. Dan ini juga ternyata, jadi di Villa Skudai di mana kawasan tersebut bukannya kawasan flat murah di Taman Tun yang mana kebanyakan tunggakan lebih RM20,000.00, RM30,000.00 dan kebanyakan pemilik rumah adalah golongan yang mempunyai kerjaya jurutera, kemudian lecturer, jadi hal ni tetap berlaku. Dan apabila ada masalah-masalah, kelak kita terpaksa menanggung dan saya bagi contoh di Skudai ada 15 kawasan flat dan 1 kawasan sebagai contoh Tun Aminah ada 88 blok bangunan. Kalau kita rasa, kita cakap kebanyakanlah kita lihat mungkin ada sesetengah pihak yang nak, yang nak ketepikan isu ini dengan alasan bukan tanggungjawab kita, bukan bawah kita itu adalah bawah pengurusan, pihak pengurusan, JMB atau MC. Tapi lihat jika ada flat seperti contoh di kawasan Tun Aminah tidak membayar, tidak mempunyai tunggakan yang banyak dan tidak membayar bil elektrik atau pun mempunyai tunggakan dan kerosakan di kawasan tersebut, kita sebagai ADUN kawasan dan juga pihak kerajaan negeri harus menanggung. Takkanlah bila orang dah call kita, YB dah tiga hari tak ada api ini sedangkan akibat pihak pengurusan sendiri tidak mampu membayar penyelenggaraan di kawasan tersebut. Takkan kita sebagai YB, kita nak cakap bukan tugasan saya ya. Ini tugasan JMB, ini urusan MC. Akhirnya, perkara ini akan berbalik kepada kerajaan negeri.

Dan, Alhamdulillah pagi tadi sebelum ke sidang Dewan saya dapat panggilan daripada Datuk Bandar MBIP iaitu Dato’ Haffiz di mana tahu-tahu sahaja beliau pada hari ini saya akan membangkitkan isu milikan strata. Dan, mudah-mudahan yang saya kira baik didengari pada waktu pagi tadi akan dapat direalisasikan tapi Dato’ kalau boleh saya mintalah untuk sertakan sekali Skudai dalam perbincangan isu di kawasan flat kerana kita perlu tahu progress terkini untuk dijelaskan kepada rakyat kelak. Ini tiba-tiba sahaja pihak JMB, pihak MC call nyatakan bahawa ada perbincangan kita pun tak tahu. Sedangkan hari itu YB EXCO Kerajaan Tempatan juga ada maklumkan untuk melibatkan Skudai sekali dalam perbincangan atau pun jawatankuasa.

Dan di Skudai sendiri kita terpalit dengan isu perumahan berstrata yang berada dalam keadaan uzur dan teruk sehingga mencacatkan imej negeri Johor sehingga mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sekitar bulan Mei lalu. Kalau kita lihat isu flat ini adalah sebenarnya adalah peranan dan kesedaran penduduk yang sangat lemah. Bukan sahaja peranan dan kesedaran penduduk malah JMB atau MC sendiri anda tanya apa peranan mereka terhadap pengutipan cukai, terhadap tugasan fungsi peranan mereka. Mereka sendiri tidak boleh jawab. Malahan kita pula yang terpaksa membantu mereka dan ini adalah satu kelemahan yang harus kita bantu. Dan juga kita juga mengharapkan sokongan daripada kerajaan untuk membendung masalah ini. Dan lebih malang lagi apabila terdapat perumahan berstrata yang langsung tak ada pihak pengurusan, tak ada JMB, tak ada MC. Bila tak ada JMB tidak ada MC tidak dikutip yuran maintenance fee jadi bagaimana penyelenggaraan nak dilaksanakan. Bila penyelenggaraan tak dilaksanakan, insurans tidak dibayar apa jadi seperti di kawasan Skudai, apa terjadi, apabila kebakaran siapa yang nak tanggung? Akhirnya berbalik kepada beban kerajaan negeri, beban PBT dan ini yang harus kita fikirkan. Dan persoalan yang kita bangkitkan, sering bangkitkan kenapa negara jiran kita Singapura mampu menguruskan perumahan bertingkat mereka dengan cekap dan tersusun bagi memastikan penduduk dapat menikmati hidup berkualiti. Itu belum lagi kita sentuh soal perancangan perumahan bertingkat yang berkualiti.

Jadi saya nak sentuh sedikit, saya telah meminta izin sebelum ini dengan YAB Menteri Besar untuk ke Singapura untuk pergi berjumpa dengan pihak HDB untuk belajar dengan mereka bagaimana pengurusan flat di kawasan, flat awam di kawasan sana dan kita juga membentangkan Akta 757 Milikan Strata yang kita terpakai di Malaysia, penyelenggaraan, cara penyelenggaraan JMB atau pun MC, kutipan duit dan pengurusan. Dan ternyata pihak HDB sendiri terkejut dengan Akta Strata dan cara pengurusan kita yang mana bayangkan yuran penyelenggaraan RM15 satu bulan pun tidak dibayar. Jadi bagaimana kerja-kerja penyelenggaraan nak dilaksanakan. Bayangkan sebuah flat yang ada 400 unit, RM15 dikutip satu bulan, pendapatan RM6,000.00 sahaja bagi menguruskan flat-flat kawasan ini. Adakah ia cukup? Tidak cukup.. dan kita juga sebenarnya ada kesilapan. Kadang-kadang kita fikir Singapura senanglah, maksudnya kerajaan menanggung semua pengurusan flat tetapi tidak. Kerajaan hanya menampung 15% sahaja kos penyelenggaraan flat awam di sana. Manakala 85% adalah melalui kutipan yuran penyelenggaraan. Di mana yuran penyelenggaraan bayaran yuran oleh penduduk sendiri, penduduk setiap unit. Oleh sebab itu flat di sana mampu setiap tujuh tahun dicat dan setelah berlaku lebihan kutipan akhirnya digunakan untuk program sosial masyarakat dan ditambah pengurusan di kawasan flat tersebut. Diberi pulangan balik kepada masyarakat yang hidup di kawasan flat. Dan ini bukan terjadi baru satu hari, dua hari ya, kerana apa pihak HDB sendiri memaklumkan perkara ini tidak terjadi dengan satu malam. Kalau kita lihat pembangunan flat HDB di Singapura berlaku sejak tahun 1960 an. Yang mana flat pertama adalah di Toa Payoh. Jadi mereka nyatakan bahawa pada tahun 70-an dan 80-an mereka dah alami yang kita alami sekarang. Mereka dah alami yang mana flat ini kita mesti akan dalam fikiran kita adalah tempat yang kotor, tempat bermasalah, tempat golongan yang berpendidikan rendah. Jadi mereka dah alami sejak tahun 70-an, 80-an tetapi berjaya dibendung akibat penguatkuasaan dan pendidikan. Dan kita juga harus belajar bagaimana kutipan cukai bagi

memastikan setiap penghuni bayar melalui penguatkuasaan kerajaan tempatan dan kelompongan dan apa yang perlu diubah pada hari ini adalah Akta 757.

Disebabkan itu, saya menyeru usaha kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa. Jawatankuasa khas yang mana kita boleh membincangkan isu flat agar jawatankuasa ini boleh membina satu jambatan bersama federal untuk membincangkan isu ini dan kita mengubah akta sedia ada, 757. Kerana apa? Akta ini sebenarnya memberikan kuasa yang berat yang penuh kepada JMB dan MC sedangkan JMB dan MC ini kebanyakannya tidak mampu berfungsi dengan baik malahan kerajaan negeri atau pun PBT tidak dapat mengambil tindakan kerana apa semua kuasa yang ada pada hari ini adalah pada badan pengurusan. Dan ini adalah tugasan kita jika tidak, mungkin 5, 10 tahun lagi kita setiap kawasan yang ada pemilikan strata ada flat awam, ada apartmen mungkin akan menjadi satu masalah atau pun bebanan yang besar kepada kita.

Dan kalau kita lihat juga di Singapura, kerajaan. Kalau kita lihat pada hari ini kita bincangkan berkenaan dengan bagaimana kita nak membaik pulih rumah-rumah di kawasan flat. Kalau kita lihat, dengan melakukan kutipan cukai yang baik kerajaan di Singapura sebenarnya hanya memberi rebet kepada setiap penghuni rumah untuk membaiki rumah-rumah mereka. Kerana apa? Apabila yuran penyelenggaraan semua cukup dikutip, jadi tidak perlu kerajaan mereka mengeluarkan kewangan yang banyak untuk membantu memperbaiki flat-flat di kawasan mereka. Oleh itu saya yakin, sudah tiba masanya kesesuaian dan keberkesanan undang-undang ini dikaji semula sebelum memberi kesan rantaian tanpa kesudahan kepada bangsa Johor kerana kita tak nak ada yang tertinggal, ada yang tercicir dan hidup alam keadaan yang tidak selesa di Johor. Dan pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Machap dan juga Yang Berhormat Bukit Permai atas keprihatinan beliau terhadap isu perumahan berstrata ini kerana banyak isu yang bantuan telah mereka salurkan kepada isu-isu flat di kawasan Skudai juga. Dan pandangan dan pendirian yang positif terhadap isu perumahan berstrata ini amat penting bagi menterjemahkan matlamat Maju Johor. Tidak ketinggalan juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada agensi yang terlibat dalam membetulkan keadaan di flat TUTA seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) SWCorp., SWM (Environment), Southern Volunteers dan lain-lain. Dan kalau kita lihat ketika ini, ada pihak yang menyatakan bahawa dia nak melaksanakan proses rejuvenasi ataupun redevelop of flat di kawasan TUTA, betul, bagus untuk kita redevelop flat-flat yang lama yang mungkin dah tak selamat untuk diduduki. Tetapi kita kena ingat jika kita redevelop flat tersebut tetapi tidak ada akta yang mengawal itu sebenarnya tak akan memberi kelainan kepada perumahan negeri kita.

Dan yang kedua, isu kedua adalah Menokhtahkan Kemiskinan Aspirasi Gagasan Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dan sidang Dewan sekalian, sebelum meneruskan perbahasan, sebagai pemimpin suka saya petik kata-kata Sri Medan “Pemimpin jangan cakap sahaja tapi tak tahu apa jadi di bawah. Pemimpin kena ada 4M, memahami, merasai, menjiwai dan melaksanakan denyut nadi rakyat.” Saya beralih pula ke bahagian kedua perbahasan pada petang ini dengan memberi fokus kepada usaha menokhtahkan kemiskinan sama ada yang dilaungkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang disasarkan pada tahun ini mahu pun yang digarap kemas di dalam Belanjawan Johor 2024 oleh Yang Amat Berhormat Machap seiring dengan Aspirasi Gagasan Maju Johor.

Kalau kita lihat dalam Jabatan Perangkaan Malaysia di dalam Laporan Survey Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2020, mengumumkan insiden kemiskinan mutlak menurun kepada 6.2% bagi tahun 2022 berbanding 8.2% pada tahun 2021 dan 8.4% ketika pandemik covid melanda pada tahun 2022 lalu. Dan apabila kita menyebut soal kemiskinan ini saya suka sekali untuk merujuk pandangan ekonomi daripada susuk penerima Nobel keamanan dalam ekonomi yakni Ahmad Yessen yang telah tampil melalui pendekatan pembangunan

modal insan. Kemiskinan menurut beliau bukan sekadar tentang sedikit sebanyak pendapatan tetapi juga merangkumi keterbatasan upaya seseorang untuk memanfaatkan sepenuhnya kebebasan dan keupayaan diri. Dan isu kemiskinan ini bukan isu baru. Sering diperdebatkan, sering dibahaskan sekian lama. Dalam konteks tempatan saya suka kongsikan pandangan susuk Zainal Abidin Bin Ahmad atau Pendeta Zaaba yang menyimpulkan kemiskinan sebagai punca mundur dalam mengejar kemajuan. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab yang membahaskan menimbulkan isu kemiskinan ini. Dan menurutnya, kemiskinan itu bukan soal wang ringgit dan harta benda sahaja, tetapi miskin juga terkait dengan cita-cita, ilmu dan kemahiran serta perangai yang mengakibatkan terus terbelenggu dalam kemiskinan.

Dan kalau kita lihat dalam Teras 3 Jaringan Keselamatan Sosial, RM3.2 juta diperuntukkan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Tegar di Johor. Ini program keluarga angkat, saya faham kesungguhan YAB Dato’ MB tetapi sebenarnya isu kemiskinan ini adalah isu rentas kawasan bukan kawasan Skudai sahaja. Isunya adalah isu berantai yang merentasi generasi ada kemiskinan yang turun temurun dan data adalah menjadi senjata yang ampuh. Maaf tuan-tuan dan puan-puan saya nyatakan ketika ini data yang kita perolehi sebenarnya tidak mencukupi. Saya bagikan contoh, melalui statistik sub nasional DUN pada tahun 2020 di kawasan Skudai golongan miskin yang tercatat adalah 34 sedangkan 34 orang yang mana miskin tegar 4 dan miskin adalah 30, sedangkan di Skudai mempunyai 137.8 ribu penduduk dan 2023 orang miskin termasuk miskin tegar adalah 87 orang dan saya rasa jumlah ini sangat tidak relevan dan kita memerlukan data. Bila kita ada data baharu kita boleh rangka program intervensi, baharu kita boleh rangka apa bantuan yang kita kena laksanakan. Dan saya percaya bukan di kawasan saya saja malahan di kawasan anda semua. Tanya pada diri anda sendiri, ada tak anda bila turun ke kawasan terdapat orang-orang miskin yang tidak masuk dalam data? Dan ini yang penting. Kalau mereka tidak terkait dalam data, bagaimana bantuan nak disalurkan kepada mereka, mereka ini akan tertinggal oleh pembangunan dan mereka ini akan kian tercicir dan ini kita tidak mahu. Kita tak nak, kita punya kemiskinan turun tapi hakikatnya di lapangan, tidak. Bukan ini yang kita mahukan. Menjadi badan dunia menyatakan data itu sangat penting pada tahun 2021 data itu sangat penting. Jadi, saya harap kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan agensi-agensi yang kita ada untuk mengumpul data memastikan tiada mereka yang keciciran. Ia pada mulanya mungkin kita akan dapat peningkatan data kemiskinan ataupun miskin tegar, tapi akhirnya bila kita sulami dengan program-program intervensi yang mana daripada program-program kemahiran, program-program jabatan tertentu, GLC daripada peruntukan Ahli Parlimen digunakan untuk membantu mereka ini, insya-Allah kemiskinan tegar ini dapat dikurangkan dan kita kena faham juga, kita tidak mahu memberikan mereka ikan saja, tapi kita mahu memberikan mereka ini pancing supaya bukan mereka saja tetapi generasi mereka itu dapat berdiri di atas kaki sendiri.

Dan, akhir sekali adalah penyelesaian tuntas berkenaan dengan masalah tapak parkir. Tapak parkir di Skudai ini saya rasa dah dua kali isu ini telah saya bangkitkan. Di mana masalah tapak parkir ini adalah disebabkan pekerja Singapura yang memarkir kenderaan mereka di kawasan persekolahan dan juga kawasan-kawasan perniagaan. Dan pagi ini saja tahu-tahu saja penduduk Skudai saya nak bangkitkan isu ini. Dapat mesej, satu petak parkir itu semualah digunakan untuk mereka yang bekerja di Singapura untuk parking kan kenderaan mereka di sana. Dan masalah ini tidak akan selesai, jadi saya perlukan satu penyelesaian yang saya rasakan proaktif untuk menangani masalah ini. Kerana masalah ini akan membelenggu seluruh penduduk Johor dan sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar pihak berkuasa memperbanyakkan lagi tapak parkir mengikut masa disediakan di kawasan perniagaan dan melaksanakan operasi penundaan kenderaan yang memarkir secara haram di kawasan SJK(C) Ko Kuang dan beberapa kawasan lain seperti di Jalan Bentara 1 dan juga Jalan Perwira 8. Dan, saya juga mencadangkan agar pihak berkuasa dapat mengkaji semula kesesuaian ruang dan lokasi untuk dijadikan tapak parkir

kenderaan berbayar khususnya bagi memudahkan pekerja Singapura menggunakan bas dan ini juga sebenarnya boleh menjadi sumber pendapatan bagi PBT.

Dan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mudah-mudahan 3 isu yang saya bangkitkan ini bukan sahaja isu Skudai tapi ianya adalah isu kita bersama di setiap DUN di setiap negeri isu ini adalah isu yang membelenggu kita. Mudah-mudahan 3 isu ini dapat perhatian daripada kerajaan negeri dan bersama-sama kita berusaha untuk memacu pembangunan dan menyejahterakan rakyat. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Skudai. Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana memberi peluang kepada Penawar mewakili rakyat DUN Penawar untuk berbahas Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2024.

Sebelum memulakan perbahasan, Penawar ingin merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November 2023 yang lepas. Patik turut merafak sembah merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena Pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat. Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Yang Berhormat Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Dato’ bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku Sultan Yang Ke-65 pada 22 November 2023 lalu.

Sekali lagi ucapan tahniah buat Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2024 baru-baru ini. Dengan tema Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat, bajet yang baru beberapa hari dibentangkan ini mendapat maklum balas yang baik dari segenap lapisan masyarakat. Penawar yakin dan pasti negeri Johor akan terus bertambah maju dan makmur terutamanya dari aspek ekonomi, kebajikan dan sosioekonomi rakyat. Dalam keadaan ekonomi dunia dan Malaysia dilanda ketidaktentuan, namun, negeri Johor berjaya mencatatkan belanjawan lebihan sebanyak RM4.21 juta bagi tahun kedua berturut-turut. Ia merupakan pencapaian yang sangat luar biasa.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertama sekali Penawar ingin menyentuh berkaitan Teras Ke-5 iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar. Di bawah teras ini, terdapat 4 strategi dan 11 inisiatif yang dirangka untuk memastikan keselamatan, kebersihan dan alam sekitar di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi program rintis penggunaan kenderaan elektrik atau Electric Vehicle (EV) sebagai kenderaan jabatan yang merupakan antara inisiatif awal yang terdapat di dalam Johor Green Deal di bawah Program Rintis Kenderaan Elektrik. Penawar menyambut baik idea kerajaan negeri untuk memulakan inisiatif ini di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu. Namun, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Penawar ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk lebih serius meneroka bidang EV yang berpotensi menjadi prospek pulangan tinggi dari segi pelaburan kepada ekonomi negeri Johor dan akan mengurangkan pencemaran di negeri ini.

Perkembangan ekonomi digital dan kepesatan Revolusi Industri 4.0 menuntut kita semua untuk memberi tumpuan kepada aspek inovasi dalam bidang yang boleh memberikan impak yang besar kepada ekonomi negara dan negeri kita dan salah satu industri yang boleh diberikan tumpuan ialah industri EV ini. Perkembangan industri EV semakin pesat di dunia. Sektor EV dalam pasaran Asia diunjurkan berkembang hampir 33% setahun kepada USD 2.7 bilion yakni bersamaan RM12.01 bilion menjelang 2027 daripada hampir USD 500 juta pada 2021. Ini bermakna elektrifikasi menjadi agenda yang lebih penting dan dari perspektif automotif. Malaysia dan negeri Johor perlu memacu ke arah matlamat yang lebih tinggi untuk penembusan EV dalam negara dan negeri ini.

Kerajaan pusat juga nampak serius untuk membangunkan industri ini. Malaysia menyasarkan sebanyak 38% kenderaan elektrik berada di atas jalan raya menjelang pada tahun 2040. Selain itu, sejumlah RM14.7 bilion pelaburan dalam ekosistem kenderaan elektrik telah diluluskan sejak 2018 sehingga September 2022, merangkumi pemasangan kenderaan, komponen EV dan komponen pengecasan. Malaysia juga telah menerima pelaburan dua syarikat utama, Tesla dan Amazon Web Services (AWS) yang dijangka membawa limpahan ekonomi kepada negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat. Namun timbul satu persoalan adakah negara kita atau negeri kita sendiri bersedia untuk menerima perubahan ini dan bersedia dari segi memenuhi eko sistem industri ini meliputi aspek penyelenggaraan, kemudahan seperti Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV), Modular Mudah Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri yang mencukupi, tenaga mahir dan lain-lain lagi. Sudah tentu pembeli yang membeli EV memerlukan sokongan dari segi penyelenggaraan, alat ganti dan perlu terdapat mekanik mahir sekiranya berhadapan dengan masalah. Bersediakah pengusaha-pengusaha bengkel kenderaan untuk menaik taraf segala peralatan yang mereka ada bagi membolehkan bengkel itu menyelenggara EV? Dan adakah kita mempunyai tenaga mahir untuk memenuhi keperluan industri ini?

Sehubungan dengan itu, kita perlu memperhebat usaha-usaha dan strategi untuk menjadikan negeri Johor sebagai salah satu peneraju atau hab utama dalam industri kenderaan EV ini. Ia akan mendapat membuka peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak Johor dan seterusnya dapat meningkatkan jumlah pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Justeru soalan Penawar, apakah usaha kerajaan negeri untuk menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi pasaran pekerjaan dalam industri EV ini? Apakah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional ia ini TVET bagi melahirkan ramai pekerja yang boleh menguasai kemahiran komputer dan sistem elektrik yang diguna pakai oleh EV. Selain itu, apakah usaha kerajaan untuk menarik minat syarikat-syarikat utama dalam EV seperti Tesla untuk melabur di negeri Johor?. Penawar berharap suatu hari nanti, negeri kita dapat melahirkan jurutera, separa jurutera, juruteknik dan tenaga mahir dalam industri EV agar ia tidak dikuasai oleh warga negara asing sepertimana di sektor-sektor lain.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menurut data yang dikeluarkan The 2022 Environmental Mental Perfomance Index (EPI) yang menggunakan 11 indikator utama menunjukkan negara kita menduduki tangga ke-132 dunia dalam indeks prestasi alam sekitar EPI daripada 180 negara. Pada hemat Penawar, perkara ini sesuatu yang mendukacitakan lebih-lebih lagi negara jiran kita Singapura menduduki tangga ke-44 jauh lebih baik daripada kita. Selain itu, memetik laporan Sinar Harian pada Oktober 2023, kualiti air di 14 sungai di Johor dikategorikan paling tercemar di negeri ini dengan dipenuhi longgokan sampah sarap, sisa buangan dan bau busuk berikutan pencemaran bahan kimia. Manakala, laporan kualiti alam sekeliling 2020 yang dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar mendedahkan Johor adalah negeri yang merekodkan bilangan tertinggi sungai tercemar merangkumi kelas 3 dan kelas 4. Justeru, program Johor Bersih yang dilancarkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita merupakan satu langkah proaktif untuk memastikan negara kita khususnya negeri Johor menjadi antara negara

terbersih di dunia. Tiada yang mustahil. Ingatkah kita bahawa daerah Muar pernah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN bagi tahun 2020?

Penawar menyambut baik inisiatif dari Bajet 2024 yang memperuntukkan sebanyak RM300,000.00 bagi penubuhan Squad Anti Litter bagi pelaksanaan penguatkuasaan terhadap pesalah yang membuang sampah di tempat awam. RM250,000.00 bagi pelaksanaan sistem e-Merit bagi memastikan penguatkuasaan kebersihan di dalam dan luar premis. RM565,000.00 bagi pemantauan kualiti dan kebersihan air sungai di kawasan Pasir Gudang serta mengenal pasti bilangan real time pollution sensor yang diperlukan bagi memastikan mitigasi segera dapat diambil terhadap sebarang elemen pencemaran.

Selain itu, di bawah Bajet 2024 ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan RM2.4 juta diperuntukkan untuk memperkasa Program Sungai Bersih. Malah, Penawar turut menzahirkan penghormatan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang sama-sama turun ke sungai mengutip sampah dalam salah satu program pembersihan sungai baru-baru ini. Satu contoh teladan yang baik buat kita semua dan juga keseluruhan rakyat Johor. Penawar juga telah menjalankan Program Johor Bersih Peringkat DUN Penawar hampir 30 siri sepanjang tahun. Ini di kawasan Penawar bersama-sama komuniti anak-anak muda dan juga agensi-agensi di dalam kawasan Penawar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, negeri kita sememangnya bertuah kerana selain faktor lokasi dan geografi yang strategik, negeri kita juga kaya dengan adat budaya dan alam semula jadi yang indah dan menarik serta bangunan warisan bersejarah yang mampu menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia. Tahniah kepada kerajaan negeri atas inisiatif Johor Majestic yang mana Festival Majestic Johor telah menerima anugerah Gold Award Attractive State Tourism Event. Penawar menyambut baik peruntukan sejumlah RM1.7 juta untuk memperkasakan dan memperhebatkan inisiatif ini. Penawar juga mengucapkan terima kasih atas peruntukan berjumlah RM4.2 juta untuk menaik taraf dataran Tasik Bandar Penawar. Hal yang demikian sangat tepat pada waktunya kerana kawasan tersebut telah menjadi salah satu nadi utama setiap aktiviti besar dan pelancongan di kawasan Bandar Penawar. Seperti kita sedia maklum, kawasan Penawar merupakan salah satu destinasi utama pelancong baik dalam dan mahupun luar negara. Desaru Coast umpamanya, pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada 100 destinasi terbaik dunia pada tahun 2021 oleh Times Magazines.

Selain itu, Desaru Bike Week juga telah menjadi acara tumpuan setiap tahun kerana kebanjiran peminat motor berkuasa besar, berkuasa tinggi dari seluruh pelosok tanah air dan juga dari seluruh dunia. Dalam hal ini, Penawar mohon supaya kerajaan negeri menambah baik infrastruktur di kawasan Penawar supaya lebih mesra pelancong. Setiap kali hujung minggu mahupun hari cuti umum dan hari perayaan, Penawar kerap kali menerima rungutan daripada rakyat di kawasan Penawar berkenaan isu kesesakan jalan raya yang sangat luar biasa.

Penawar mohon kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap isu ini kerana ia menimbulkan rasa kurang selesa terhadap penduduk malah orang ramai yang datang ke Penawar untuk bercuti. Penawar difahamkan sudah terdapat perbincangan untuk menaik taraf jalan FT.90 dari Petronas Bandar Penawar ke bulatan Bandar Penawar. Namun, terdapat beberapa masalah terutamanya dari segi peruntukan. Penawar mohon jasa baik kerajaan negeri terus memberi perhatian terhadap isu ini. Penawar juga menyambut baik inisiatif kelima dalam Bajet 2024 iaitu membentuk task force projek berimpak tinggi bagi memastikan projek-projek utama seperti pelebaran lebuh raya Plus dan lorong memotong lebuh raya SDE siap mengikut jadual. Penawar berharap task force yang diwujudkan ini dapat menyelaras segala isu berbangkit dan memastikan kelulusan jabatan teknikal dapat diperolehi dengan kadar segera. Penawar turut difahamkan bahawa projek lorong memotong SDE ini diperuntukkan sebanyak RM117 juta untuk lapan kilometer. Penawar

berpendapat adalah lebih baik jika jarak tersebut dipanjangkan menjadi 11 kilometer dengan mengambil kira jumlah kenderaan yang semakin bertambah serta sering berlakunya kemalangan di kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, negeri Johor kaya dengan warisannya. Bila sebut tarian zapin, gambus dan muzik ghazal pasti dikaitkan dengan Johor. Warisan ini harus dikekalkan dan diperluaskan lagi kerana ia mencerminkan jati diri Melayu Johor. Selain menjadi salah satu budaya bangsa di Malaysia, muzik tradisional seperti gambus juga boleh dijadikan sebagai instrumen perpaduan dan persefahaman kaum. Apakah usaha kerajaan negeri untuk meluaskan pemahaman dan penerimaan warisan Johor sebagai instrumen muzik tradisional yang fleksibel melalui penciptaan lagu-lagu kontemporari yang baru?. Selain itu, apakah usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan seni warisan Johor ini kepada anak-anak muda Johor supaya kita sentiasa mempunyai pelapis dalam bidang ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selain muzik, Penawar juga berpandangan bahawa Muzium Tokoh Johor juga perlu dipelihara. Tahniah kerajaan negeri yang memperuntukkan RM3 juta bagi kerja-kerja konservasi electrical dan mekanikal bangunan Muzium Tokoh Johor. Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dipergiat promosinya supaya maklumat dan artifak berkaitan tokoh-tokoh negeri Johor dapat dikumpul, dipelihara dan dipamerkan sebagai khazanah dan pengiktirafan kepada tokoh dan pemimpin yang pernah menjadi inspirasi anak Bangsa Johor. Penawar ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Pelancongan Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor yang telah turun ke kawasan Penawar untuk melawat Muzium Nelayan Tanjung Balau. Insya-Allah muzium ini akan ditambah baik lagi terutama dari aspek pengisian, keceriaan dan keselesaan yang bukan sahaja dapat menarik minat pengunjung-pengunjung semata-mata namun lebih dari itu, ianya dapat menjadi tempat untuk anak-anak muda mempelajari dan menghayati serta mengenang jasa para nelayan Malaysia yang merupakan penyumbang utama industri makanan di Malaysia. Muzium Nelayan Tanjung Balau yang berada di bawah kelolaan KEJORA merupakan satu-satunya muzium di Malaysia yang memaparkan peradaban kehidupan masyarakat nelayan tradisional di Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, izinkan Penawar untuk membawa beberapa isu di kawasan Penawar. Pertamanya, berkaitan pendidikan. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, Penawar mohon Yang Berhormat EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi memberikan perhatian terhadap isu pendawaian elektrik yang usang di sekolah-sekolah di dalam kawasan terutamanya FELDA dibina, yang telah dibina sekitar tahun 70-an. Kebanyakannya masih single phase dan tidak sesuai untuk menampung keperluan penggunaan alat elektrik akibatnya sekolah-sekolah ini sering berlaku gangguan trip yang dikhuatiri akan turut memberikan kesan kepada peralatan lain khususnya komputer. Penawar mohon untuk menaik taraf pendawaian kepada three phase di sekolah-sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Tanjung Buai, Sekolah Kebangsaan FELDA Air Tawar 1, Sekolah Kebangsaan FELDA Air Tawar 4, Sekolah Kebangsaan FELDA Air Tawar 5, Sekolah Kebangsaan Semenchu, Sekolah Kebangsaan Kampung Layau, Sekolah Kebangsaan FELDA Sungai Mas, Sekolah Kebangsaan Bandar Mas dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar.

Penawar juga mohon agar KPM, dapat mengkaji semula pelaksanaan kelas bercantum di sekolah kurang murid, SKM. Hal yang demikian menjejaskan kualiti pembelajaran dan pengajaran. Beban tugas guru juga semakin bertambah kerana mereka perlu menjalankan tugas, bengkel dan kursus seperti guru-guru lain juga.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penawar dapati dalam pembentangan Belanjawan 2024 ini, terdapat sejumlah wang yang diperuntukkan untuk menambah baik sistem saliran dan pengurusan banjir di negeri Johor. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker juga, kawasan Penawar merupakan antara kawasan yang teruk

dilanda banjir terutama di kawasan Taman Desaru Utama, Kampung Baru Sungai Mas dan juga di Jalan Ladang Siang. Kawasan seperti Taman Desaru Utama misalnya semakin tahun semakin teruk banjir yang berlaku. Antara penyelesaian jangka panjang yang diperlukan ialah naik taraf calvert dan naik taraf saliran bagi menampung air dari bukit dan sungai berdekatan.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa Yang Berhormat.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Baik. Membaik pulih sungai yang, cerun sungai yang terhakis dan runtuh. Hal ini memerlukan kos yang amat tinggi. Akhir kata, Penawar juga merupakan salah satu kawasan yang berada dalam lingkungan atau ekosistem projek RAPID Petronas Pengerang. Penawar mencadangkan perlu adanya kerjasama daripada RAPID Pengerang dan agensi-agensi kerajaan untuk menambah baik sistem jaringan jalan raya dan capaian internet berkelajuan tinggi sebagai salah satu usaha mengharmonikan kehidupan masyarakat di Penawar. Dikesempatan ini juga Penawar ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pegawai Daerah serta Ketua-Ketua Jabatan dalam daerah Kota Tinggi di atas kerjasama yang baik bagi memastikan Penawar terus dikelilingi oleh agensi-agensi yang sentiasa mendengar keluh resah rakyat. Penawar berharap usaha dan kerjasama seperti ini dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat Penawar. Sekian, wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 29 November 2023, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 4.50 petang.