Johor · 29 November 2023
2nd session, 4th meeting · 141 turns · 34,615 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita adalah Ahli Perundangan. Kita pembuat undang-undang, di Parlimen dikenali sebagai Akta dan di Dewan negeri dikenali sebagai Enakmen. Kita adalah dengan izin, the law maker. Justeru kita adalah pematuh undang-undang. Ada 5 peristiwa di mana ahli-ahli perundangan melanggar prinsip-prinsip perundangan. Mereka bergaduh dan bertumbuk ketika bersidang. Pertama, Ahli Parlimen Hong Kong bertumbuk sebab berebut kerusi Ketua Jawatankuasa Dewan iaitu Jawatankuasa Pilihan. Ia melibatkan dua kumpulan iaitu prodemokrasi dan pro Beijing Kedua, Ahli Parlimen Uganda bertumbuk ketika perbahasan usul agar umur Presiden Uganda tidak melebihi 75 tahun. Ketiga, Ahli Parlimen Kuwait baling-membaling kasut ketika Perdana Menteri Kuwait disoal siasat di dalam Parlimen. Yang keempat, Ahli Parlimen Afrika Selatan bertumbuk ketika perbahasan mendesak Presiden Jacob Zuma meletak jawatan. Kelima, Ahli Parlimen Taiwan bergaduh sambil membaling belon berisi air sesama mereka kerana tidak bersetuju pencalonan Ketua Badan Pemantau Kerajaan ataupun Ombudsman. Saya harap dalam Dewan ini tak ada yang bawa belon air. Sebagai Ahli Dewan Perundangan saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan berbahas dengan teliti terutama apabila ada Enakmen dibentangkan di dalam Dewan ini. Saya bersedia melanjutkan tempoh perbahasan sehingga lewat malam jika masa perbahasan tidak mencukupi. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Dijemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 1.
Apakah tindakan konkrit yang diambil oleh Kerajaan Negeri Johor untuk mengatasi kes bunuh diri yang semakin meningkat di kalangan penduduk dan membantu mereka yang berisiko?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor kepada seisi Dewan sekalian. Terima kasih daripada Puteri Wangsa kerana telah menanyakan satu soalan atau satu topik yang sering dibincangkan iaitu topik kesihatan mental yang sering dibincangkan khususnya selepas pandemik COVID-19. Bagi Jabatan Kesihatan Negeri Johor, beberapa strategi telah dilaksanakan bagi membantu masyarakat menangani isu kesihatan mental yang mudah-mudahan boleh mengurangkan dengan tindakan bunuh diri. Ia meliputi aspek promosi, pengesahan awal serta intervensi bagi mereka yang hadir ke fasiliti kesihatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan seisi Dewan sekalian, pada 2022 terdapat 115 kes bunuh diri dalam negeri Johor dan merupakan pengurangan kes berbanding 140 kes pada tahun 2021. Dalam trend kes bunuh diri dalam 5 tahun trend meningkat dari tahun 2018
sehingga 2021 iaitu 76 kes dalam tahun 2018, 97 kes dalam tahun 2019 dan 99 kes pada tahun 2020. Antara sebab utama yang dikenal pasti daripada laporan kes bunuh diri ini adalah masalah dengan pasangan suami isteri, masalah penyakit kronik serta masalah mental, kemurungan dan barulah sampai masalah kewangan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah melakukan pelbagai inisiatif proaktif seperti penganjuran ceramah kesihatan, forum, sistem saringan minda sihat dan perkhidmatan kaunseling.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, dalam ucapan Belanjawan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri Johor akan melancarkan inisiatif kesihatan Klinik Kesihatan Bergerak, kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Mohd Noah, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, PAJ, UiTM dan NGO’s akan memperkenalkan perkhidmatan ini secara berperingkat ke 56 kawasan DUN dalam menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan asas dan pergigian kepada seluruh rakyat Johor dengan peruntukan berjumlah RM1.3 juta. Turut bersama dengan perkhidmatan klinik kesihatan bergerak, saringan kesihatan mental juga akan dilaksanakan.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan bekerjasama dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor yang melibatkan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dalam menyediakan perkhidmatan psikologi dan kaunseling. Ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam membantu kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental rakyat Johor yang terkesan akibat dari pandemik COVID-19. Kerajaan Negeri Johor akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk NGO dalam usaha membina kesedaran pencegahan melalui dan pengesahan awal kes bunuh diri dan intervensi atau rawatan. Sekian, terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan sebentar tadi. Kalau kita lihat laporan PDRM pada tahun 2021, sebanyak 872 daripada 1,000 kes bunuh diri di Johor melibatkan kanak-kanak berusia 15 hingga 18 tahun. Bermakna, sepatutnya isu kesihatan mental ini kita selesaikan daripada waktu mereka muda lagi. Soalan saya, adakah Kerajaan Negeri Johor punya apa-apa rancangan untuk buat intervensi sewaktu mereka di sekolah? Sebagai contohnya di Sarawak ada menjayakan satu program Gatekeepers, dengan izin, Gate Keepers Suicide Prevention Training di mana training ini diberikan kepada Pegawai Kebajikan. Namun, mungkin untuk Kerajaan Negeri Johor boleh juga buat latihan kepada guru-guru sebagai dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, first responder, kepada anak-anak yang mengalami masalah kesihatan mental. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ok, terima kasih soalan tambahan daripada Puteri Wangsa. Memang benar kalau mengikut data yang diperolehi, khususnya pada tahun 2020 di antaranya yang berlaku kes bunuh diri, 52.5% dalam tahun 2020 adalah dalam golongan muda iaitu daripada tahun 18 hingga 40. Pada tahun 2021 ada 53.57%, pada tahun 2022 pula kes bunuh diri berlaku pada orang muda iaitu 67.8%.
Dengan mengikut trend tersebut kita boleh mendapat kesimpulan bahawa anak-anak muda inilah yang golongan lebih mudah terkesan ataupun mereka kekurangan kemampuan untuk pengurusan daripada apa ni, daripada psikologi mereka. Oleh itu, program berterusan perlu diadakan lebih kerap dan ini bukan sahaja tanggungjawab kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor, ia perlu berganding bahu daripada beberapa agensi khususnya mungkin daripada Jabatan Kesihatan kita perlu ada pelbagaikan program untuk memperkuatkan semangat mereka atau jati diri mereka dan juga pihak sekolah kita ada kaunselor dalam sekolah supaya pelbagaikan program dan juga mengenal pasti lebih awal supaya kita dapat
buat prevention yang awal. Apa yang lebih menarik kepada seisi Dewan dan kepada kes-kes bunuh diri ini, kebanyakan mangsa kes bunuh diri adalah daripada golongan lelaki. Oleh itu, sama-sama kita perlu apa orang kata ini, lebih kasih sayang kepada golongan lelaki supaya mereka dapat mengawal emosi mereka. Itu sahaja, sekian terima kasih.
Sebelum saya jemput pertanyaan seterusnya. Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran para pemerhati iaitu daripada Pejabat ADUN Johor Jaya seramai 7 orang, ada? Pejabat ADUN Johor Lama, 5 orang, Pejabat ADUN Kempas, 7 orang iaitu daripada Persatuan Ikatan Anak Johor (MARSAH) dan daripada Pejabat ADUN Kota Iskandar, 10 orang. (Dewan bertepuk). Dijemput Tangkak.
Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih. Soalan Tangkak nombor 2.
Apakah Tourism Johor bercadang untuk mewujudkan sebuah Pusat Informasi Pelancongan di bandar Tangkak memandangkan bandar ini merupakan sebuah lokaliti yang strategik?
Dijemput Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.
Apakah perancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam usaha memajukan sektor pelancongan di daerah Tangkak?
Terima kasih Datuk Speaker. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terlebih dahulu Datuk Speaker, izinkan saya untuk menjawab kedua-dua soalan Tangkak dan Gambir kerana ia melibatkan sektor pelancongan di bandar Tangkak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat, Tourism Johor buat masa ini tiada mempunyai perancangan untuk mewujudkan pusat informasi pelancongan di bandar Tangkak kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar serta penempatan kakitangan. Namun begitu, Majlis Daerah Tangkak dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak telah pun mewujudkan sebuah pusat informasi pelancongan di bandar Tangkak yang terletak di Dataran Ledang. Pusat informasi pelancongan ini beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang bagi sesi pagi dan jam 5.30 petang hingga 11.30 malam bagi sesi malam iaitu pada setiap hari Ahad sehingga hari Khamis. Pusat informasi pelancongan ini telah menjadi one stop centre, dengan izin kepada pelancong untuk mendapatkan risalah pelancongan daerah Tangkak, cenderamata daerah Tangkak dan selain itu para pelancong berpeluang menyertai aktiviti permainan rakyat seperti congkak, batu seremban dan sebagainya.
Sektor pelancongan di daerah Tangkak dilihat mempunyai potensi untuk dimajukan kerana selain kedudukannya yang strategik dan mempunyai ketidaksampaian yang baik, daerah Tangkak juga mempunyai tarikan pelancongan tersendiri terutamanya Gunung Ledang. Bagi perancangan jangka panjang di daerah Tangkak, terdapat dua buah Taman Negara Johor yang dikawal selia oleh Perbadanan Taman Negara Johor iaitu Taman Negara Gunung Ledang (Lagenda) dan Air Terjun Gunung Ledang.
Air Terjun Gunung Ledang baru sahaja dibuka pada penghujung Julai 2023 yang lepas selepas proses pengambilalihan daripada operator sebelumnya dan proses menaik taraf beberapa kemudahan selesai dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Tangkak telah merangka beberapa perancangan untuk memajukan sektor pelancongan di daerah Tangkak iaitu:
1. Memperkukuhkan pengurusan pelancongan daerah Tangkak terutamanya peranan sekretariat pelancongan daerah Tangkak.
2. Menganjurkan townhall bersama pemain industri pelancongan daerah Tangkak bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan juga mengeratkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri.
3. Memberi plak pengiktirafan kepada pemain industri bagi menggalakkan pemain industri berdaftar dengan Majlis Daerah Tangkak bagi tujuan pemantauan dan pengumpulan data.
4. Mengemas kini inventori produk-produk pelancongan daerah Tangkak bagi tujuan penglibatan risalah pelancongan daerah Tangkak, risalah Fun Map, handbook dan sebagainya.
5. Mewujudkan pelan strategik pelancongan daerah Tangkak 2024-2030.
6. Mewujudkan QR Code di setiap papan iklan dan lokasi-lokasi pelancongan di daerah Tangkak bagi memudahkan para pelancong mendapatkan maklumat berkaitan pelancongan di daerah Tangkak.
7. Memperhebatkan kempen promosi produk-produk pelancongan daerah Tangkak melalui media sosial seperti Facebook dan IG Amazing Tangkak.
8. Menambah baik pusat informasi pelancongan daerah Tangkak.
9. Mempelbagaikan acara-acara pelancongan di daerah Tangkak dan memperkukuhkan penjenamaan acara Amazing Tangkak Festival sebagai Signature Event bagi daerah Tangkak.
10. Membangunkan pakej pelancongan daerah Tangkak, memohon peruntukan dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi menaik taraf kemudahan pelancongan, keceriaan dan keindahan di daerah Tangkak.
Perancangan ini akan diselaraskan secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa dan melibatkan pelbagai pihak seperti Tourism Johor, Tourism Malaysia, MOTAC Johor dan sebagainya. Terima kasih.
Ya, sila Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Tangkak mengambil peluang ini untuk mengucap terima kasih terutama kepada Majlis Daerah Tangkak dan juga warga-warga Pejabat Daerah Tangkak kerana yang paling signifikan adalah telah berjaya menganjurkan dua kali Festival Amazing Tangkak, yang telah sekali lagi meningkatkan nama Tangkak terutama pada produk-produk pelancongan tempatan.
Soalan saya adalah, tadi Yang Berhormat EXCO telah menyatakan iaitu daerah Tangkak terutama dalam sektor pelancongan ini, Tangkak mempunyai satu produk atau tempat tarikan pelancongan yang tersendiri dan terkenal iaitu Gunung Ledang, jadi soalan tambahan dari Tangkak pada pagi ini adalah kalau boleh minta Yang Berhormat EXCO
kongsikan berkenaan dengan penginapan terutama di Gunung Ledang Resort yang telah diambil balik pengurusannya oleh kerajaan negeri pada awal tahun ini. Bilakah Resort Gunung Ledang ini akan dibuka balik? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti mana yang diberitahu oleh Yang Berhormat Tangkak, pengoperasian resort di kawasan Air Terjun Gunung Ledang telah diambil balik oleh Perbadanan Taman Negara Johor. Tapi, apa pun, air, resort di Air Terjun Gunung Ledang belum dibuka kepada pelawat lagi.
Perbadanan Taman Negara Johor sedang dalam proses, peringkat akhir dalam penyediaan TOR, Term Of Reference, dengan izin dan konsep pembangunan serta kaedah pengoperasian bersama pemaju yang ingin memajukan resort tersebut bersama Perbadanan Taman Negara Johor yang dijalankan. Bagaimanapun, mana-mana pihak yang berminat untuk memajukan resort tersebut boleh memajukan proposal kepada pihak Perbadanan Taman Negara Johor dan menyatakan niat bagi tindakan selanjutnya.
Tapi, apa pun Yang Berhormat Datuk Speaker dan untuk informasi Yang Berhormat Tangkak dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, walaupun resort kita masih belum buka lagi, tapi kita dah buat renovation di resort-resort di Taman Gunung Ledang Lagenda, yang bernilai lebih kurang RM600,000.00 kita dah banyak upgrade. Dalam Gunung Ledang Lagenda kita ada chalet yang boleh memuatkan seramai 154 orang pelancong iaitu kita ada VVIP Chalet, satu yang berkapasiti untuk 4 orang, VIP Chalet 1 unit berkapasiti 4 orang, Family Chalet 8 unit berkapasiti 4 orang setiap chalet, dormitary 20, satu blok lelaki berkapasiti 37 buah katil dan 1 blok perempuan berkapasiti 37 buah katil, pondok 20 unit berkapasiti 2 orang setiap pondok. So, yang ni adalah temporary alternative, so, kita dah sediakan tempat itu pun dah cantik dan saya pun mempelawa Yang Berhormat Datuk Speaker dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kalau boleh pergi ke chalet tersebut, tengok sebab keadaan dia memang cantik sekarang. Terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya, silakan Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO di atas jawapan yang telah pun diberikan. Sebenarnya, Tangkak diisytiharkan sebagai sebuah daerah pelancongan ini bermula pada tahun, zaman Datuk Khaled Nordin sebagai Menteri Besar, pada ketika itu mungkin 7 ataupun 8 tahun yang terdahulu. Tetapi perkembangannya di DUN, di daerah Tangkak ini begitu perlahan. Kalau kita lihat, negeri Melaka contohnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, bagaimana mereka telah mentransformasikan bandar mereka sebegitu cantik dan dapat menarik sebilangan ramai pelancong ke negeri mereka. Jadi, isunya di daerah Tangkak ini, walaupun telah diisytiharkan sebagai daerah pelancongan, tapi persoalan yang sering bermain di pemikiran saya adalah, bagaimana sehingga kini kita tiada satu kemudahan penginapan yang baik kecuali Taman Lagenda yang telah pun diterangkan oleh YB EXCO.
Bagaimana pula dengan kemudahan-kemudahan yang lain? Bagaimana pula dengan keceriaan dan keindahan bandarnya? Bagaimana pula dengan bantuan-bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha-pengusaha inap desa? Semua ini perlu dilihat secara menyeluruh dan saya sangat merayu kepada kerajaan negeri supaya dapat melihat bahawa peruntukan-peruntukan tertentu yang mungkin besar perlu disalurkan ke daerah Tangkak bagi benar-benar kita wujudkan bahawa daerah Tangkak itu adalah sebuah daerah pelancongan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak, memang tidak dapat dinafikan kepesatan pelancong di daerah Tangkak memang meningkat. Kalau kita tengokkan data lepas kita buka Gunung Ledang, Air Terjun dari bulan Julai hingga sekarang dah lebih dari 100,000 pengunjung yang datang, yang tu terlibat, terdiri daripada pelancong tempatan lebih kurang 100,000 dan luar negara ada lebih kurang dekat 2,000 pelancong yang telah hadir. Dan ini jelas menunjukkan bahawa yang memang perkembangan pesat tengah berlaku. So, apa pun kerajaan negeri kita tengok kan dari segi apakah jewel, dekat Tangkak. Kita tengok kan Gunung Ledang, peruntukan kerajaan negeri dari tahun lepas kita dah peruntukan lebih daripada RM2 juta untuk pembangunan semua fasiliti-fasiliti infra di Gunung Ledang dan kita juga akan teruskan untuk tahun ini apa seperti mana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk fasiliti-fasiliti kemudahan di Gunung Ledang.
Tapi, apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Gambir, kita akan bincang dengan Majlis Daerah Tangkak dan juga Pejabat Daerah, kita akan plan dengan lebih holistik apa yang kekurangan, misal contohnya, dari segi penginapan, dari segi kemudahan-kemudahan tempat makan yang lain, yang boleh membawa keselesaan kepada pelancong, yang ini akan dibincangkan. Terima kasih.
Saya jemput, Yang Berhormat Parit Raja.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Parit Raja nombor 4.
Terdapat banyak aduan sepanjang kerja-kerja naik taraf jalan FT050 yang mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya dan masalah banjir kilat. Minta dinyatakan apakah usaha pihak kerajaan menanganinya.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja.
Untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, projek menaik taraf jalan FT050 ini adalah di bawah projek persekutuan dengan tajuk Membina Median Pusingan ‘U’ dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Jalan Batu Pahat – Air Hitam, Kluang Daripada Parit Sempadan, Batu Pahat Seksyen 21 hingga jambatan merentasi Lebuhraya PLUS Seksyen 34.5. Projek ini diluluskan kerana kebanyakan jajaran FT050 merupakan lokasi blackspot dan menyebabkan banyak kemalangan berlaku. Tujuan projek ini adalah untuk mengurangkan kemalangan di jalan tersebut dengan kos projek menelan belanja RM219 juta dan kerja-kerja telah bermula daripada Oktober 2021 dan dijangka siap pada Oktober 2024.
Antara skop projek ini adalah seperti berikut:-
1. Pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan 3 pusingan ‘U’ untuk kenderaan berat.
2. Menaik taraf lima persimpangan iaitu persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Air Hitam dan Bandar Baru Air Hitam.
3. Membina baru jejantas pejalan kaki dan laluan motosikal baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Menteri dengan tambahan ramp motosikal.
4. Membina dua jejantas motosikal baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Perdana dan Masjid Parit Suntuk.
5. Membina semula dan menaik taraf sistem perparitan dan pembetung sedia ada.
6. Kerja-kerja elektrik dan pengalihan utiliti.
Berkenaan aduan yang diterima berkenaan projek menaik taraf jalan ini, kerajaan melalui JKR Johor telah mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap projek FT050 ini untuk melaksanakan tindakan segera bagi menangani aduan pengguna jalan raya dan masalah banjir kilat.
Antara tindakan yang telah dilakukan oleh pihak kontraktor adalah seperti berikut:-
1. Mempercepatkan pengorekan dan pembinaan longkang baru di kawasan lot kedai persimpangan Air Hitam bagi mengelakkan banjir kilat yang sering terjadi di kawasan tersebut.
2. Kerja-kerja menebuk dinding longkang ‘U’ bagi membolehkan air dari longkang pihak ketiga masuk ke dalam longkang baru sedang giat dijalankan bagi mengurangkan aduan air bertakung dan tidak mengalir.
3. Memastikan longkang yang ditutup sementara ketika kerja pembinaan longkang baru dibuka semula selepas habis kerja bagi memastikan air dapat mengalir ketika hujan lebat.
4. Akses utama ke kampung-kampung dan lot kedai yang rosak dan berlubang dibaik pulih semula dengan meratakan semula crusher run, kerja premik di semua akses utama tersebut dijangka bermula pada 23 November 2023.
5. Terdapat team trafik dan ERP, yang memantau keadaan di tapak 24 jam sehari bagi memastikan tapak projek dalam keadaan selamat. Contohnya, membetulkan plastic barrier yang masuk ke jalan, memperbaiki pothole, menjaga trafik ketika berlakunya kemalangan di tapak.
Jika kontraktor tidak mematuhi arahan dan syarat daripada JKR, pihak JKR boleh mengeluarkan Non-Conformance Report ataupun NCR, jika kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Dalam masa yang sama, arahan untuk memberhentikan kerja serta merta juga boleh dilaksanakan jika ia memberi kesan yang besar kepada pengguna jalan raya.
Selain itu, sekiranya pihak kontraktor masih gagal melaksanakan arahan kerja yang ditetapkan seperti mana dalam kontrak, surat peringatan akan dikeluarkan oleh JKR Daerah dan juga JKR Negeri. Selain itu, pemotongan bayaran bagi skop kerja berkaitan juga boleh dibuat seperti mana dalam kontrak. Dalam masa yang sama, penalti sebanyak 25% akan dikenakan kepada kontraktor jika syarat-syarat yang ditetapkan dalam kontrak tidak dipatuhi. Tindakan terakhir, sekiranya pihak kontraktor masih gagal melaksanakan arahan kerja, tindakan penamatan kerja kontraktor boleh dibuat setelah amaran dikeluarkan mengikut syarat-syarat kontrak. Sekian, terima kasih.
Sila, Parit Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO di atas jawapan yang telah diberikan itu tadi. Tetapi apa yang menyedihkan eh, projek ni tunggu lebih kurang, lebih, lebih daripada 10 tahun orang
Parit Raja sampailah ke kawasan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, eh. Lebih 10 tahun tunggu. Bila buat, datang pula penyakit banjir kilat. Ini kita dah tak boleh nak salahkan hujan ke ataupun dan sebagainya eh. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Sri Medan, kenapa masyarakat takut bila ada pembangunan, kerana tidak melindungi kawasan-kawasan yang sebelum ini tak ada berlaku banjir, hari ni bukan sahaja di persimpangan, dia dah berjangkit masuk ke taman-taman perumahan sekitar eh, kawasan Parit Raja tersebut dan katanya projek ini telah diambil alih di bawah tanggungjawab JKR Persekutuan, kalau dah namanya JKR Persekutuan ni, sepatutnya kerjanya lebih majulah, cemerlanglah eh, tidak perlu ada aduan-aduan seperti ini eh. (Dewan bertepuk).
Sistem aduan tidak ada, bukan tidak efisien, saya ingat tidak ada. Jadi, masyarakat memang mengambil ruang..
Soalan Yang Berhormat.
Membuat aduan di laman sosial. Soalan saya, adakah perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat EXCO tadi mengambil kira pelan kecemasan jangka pendek dan jangka panjang, sekiranya pelan kecemasan tadi berlaku dalam masa yang terdekat, pelan jangka pendek dan jangka panjang dan adakah besok kalau dah siap Oktober 2024, berlaku lagi masalah seperti ini. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Untuk makluman, projek ini bukan diserahkan kepada JKR Negeri memang asal-asalnya pun projek ini adalah projek dari kerajaan persekutuan. JKR Persekutuan, yang memantau projek ini dibantu oleh JKR Negeri. Mungkin dekat situ ada berlaku leak up sikit, sebab proses komunikasi antara negeri dan juga persekutuan. Namun begitu, saya ambil maklum khususnya tentang pelan kecemasan tadi. Dan, insya-Allah sebenarnya memang ada Emergency Response Team, ERT yang mana saya sebutkan tadi, cuma kita perlu perkasakan lagilah.
Yang Berhormat, insya-Allah projek ini telah pun mendapat perhatian oleh pihak negeri. Antara projek yang kita pantau secara dekatlah, telah menerima banyak aduan khususnya daripada Yang Berhormat Parit Raja dan Yang Berhormat persekitaran situ memang banyak perkara-perkara yang perlu kita perhalusi semula. Dan, insya-Allah dengan berbaki tidak sampai setahun projek ini siap kerajaan negeri akan pastikanlah projek ini akan mengikut apa itu syarat-syarat spesifikasi dan juga ada pelan kecemasan selepas projek ini siap nanti. Insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Jemput Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya isu aduan sepanjang kerja-kerja naik taraf jalan dan sebagainya ini memang sangat banyak. Dan Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini pada 2 September lepas, ada 6 sekeluarga meninggal di KM5 Jalan Segamat – Kuantan kerana kegagalan kontraktor menyediakan kaedah yang selamat terutamanya bagi memastikan urusan-urusan kerja di kawasan jalan itu dapat dilaksanakan.
Dan baru-baru ini, tular di media sosial bahawa pengguna-pengguna jalan raya yang terlibat dengan kemalangan di kawasan-kawasan yang memang sedang dinaik taraf jalannya, tidak kira lah jalan persekutuan ataupun jalan negeri, mereka boleh buat tuntutan kepada pihak konsesi atau kontraktor dengan syarat dapat kebenaran daripada pihak JKR. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Bukit Pasir, adakah boleh sebenarnya tuntutan ini dibuat,
dan kalau boleh bagaimana kaedah dan caranya? Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Benar, sebenarnya setiap kali projek-projek sama ada projek selenggara jalan ataupun projek bina baru jalan, memang ada insurans sekiranya berlaku apa-apa di tapak kerja termasuklah mereka yang menggunakan jalan raya dan sekiranya berlaku kemalangan, contohnya, langgar lubang dan sebagainya boleh buat report Polis dan adukan kepada pihak JKR untuk tuntutan dan sebagainya.
Saya maklum, Yang Berhormat Pemanis, seperti saya sebutkan tadi selain kita, JKR memantau dari segi kontrak, prosedur kerja (SOP) dan sebagainya, saya telah menjawab dalam 2, 3 hari lepas berkaitan dengan tujuan ataupun apa itu, kita nak naik taraf JCCD supaya dia pun turut boleh memantau. Jadi, banyak agensi yang akan memantau satu ialah jurutera perunding, JKR negeri, JKR persekutuan dan pihak JCCD sendiri, selain pihak konsesi. Dan insya-Allah, saya faham tadi saya nak sebut juga pasal Parit Raja berkaitan dengan tiada sistem aduan.
Kita ada sistem aduan, tetapi saya faham mungkin kurang efisien and insya-Allah itu pun akan ditambah baik oleh pihak JCCD nanti sama ada aduan berkaitan dengan jalan ataupun aduan prestasi kerja kontraktor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Saya jemput, Tanjung Surat.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.
Sejauh manakah kerajaan negeri menekankan akan usaha untuk memperkasa golongan belia yang terlibat dalam sektor pertanian masa kini dan apakah inisiatif yang disediakan untuk dimanfaatkan oleh mereka?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat ADUN Tanjung Surat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat ADUN Tanjung Surat bertanyakan tentang usaha untuk memperkasa golongan belia yang terlibat dalam sektor pertanian masa kini dan apakah inisiatif yang disediakan untuk dimanfaatkan oleh mereka. Dan kalau boleh saya sebutkan juga Yang Berhormat dengan izin, soalan ini ada kaitan dengan soalan tambahan yang diajukan oleh Tangkak semalam.
Yang Berhormat, kerajaan pada masa kini giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan rakyat termasuk golongan belia menceburi pekerjaan dalam sektor 3D. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti menggalakkan industri supaya beralih kepada teknologi pertanian pintar dalam mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti penyelidikan dan pembangunan serta penggunaan Internet of Things (IoT) yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.
Dalam masa yang sama, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan turut dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Bagi menggalakkan petani-petani atau usahawan muda kekal berdaya saing dan berdaya maju, pelbagai insentif telah disediakan kepada para belia, petani dan diharap dapat membantu merancakkan pembangunan industri
pertanian sebagaimana yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor.
Secara keseluruhannya, sebanyak RM8,321,694.00 telah diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun 2023 bagi pemberian insentif kepada 2,183 orang belia untuk menyokong dan memperkasakan lagi aktiviti pertanian dan penternakan yang diusahakan oleh mereka menerusi perlaksanaan 14 program inisiatif.
14 program inisiatif ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau boleh saya ringkaskan mengikut jabatan adalah seperti berikut:
1. Jabatan Pertanian Negeri Johor. Jumlah peruntukan RM6,264,944.00 melibatkan 7 program dan memberi manfaat kepada 1,995 orang.
2. Jabatan Perikanan Negeri Johor. Peruntukan bernilai RM128,750.00 melibatkan 2 program dan memberi manfaat kepada 7 penerima belia.
3. Perkhidmatan Veterinar melibatkan peruntukan RM130,000.00 dengan 1 program dan 15 penerima manfaat belia.
4. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor. Peruntukan RM1,400,000.00 melibatkan 2 program dan memberi manfaat kepada 146 belia; dan
5. Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor. Peruntukan RM400,000.00 dengan 2 program dan melibatkan 20 penerima manfaat belia.
Jumlah keseluruhan RM8,321,694.00, 14 program dan 2,183 penerima manfaat.
Selain daripada itu, jabatan dan agensi juga berperanan dalam memberikan khidmat nasihat, pelaksanaan kursus dan latihan dan pembelajaran secara teknikal dan hands on bagi memupuk minat dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam pelaksanaan aktiviti pertanian.
Pada tahun 2023, sebanyak 188 siri kursus dan latihan pelbagai bidang telah dilaksanakan dan melibatkan 4,317 orang belia tani. Perinciannya adalah seperti berikut:
Yang pertama, Jabatan Pertanian Negeri Johor menyediakan 143 kursus atau latihan melibatkan 2,852 belia dan antara kursus-kursusnya adalah seperti, banyak Yang Berhormat saya tidak dapat sebut satu-persatulah. Jabatan Perikanan Negeri Johor, 17 kursus melibatkan 337 belia. Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 14 kursus 657 penglibatan belia dan Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor, 14 kursus dan latihan melibatkan 471 belia. Dan jumlah keseluruhan 188 kursus atau latihan dengan 4,317 penglibatan belia. Bantuan dan latihan yang disediakan ini sedikit sebanyak telah membantu kumpulan belia dalam menjayakan agensi kerajaan bagi meningkatkan keterjaminan makanan khususnya di negeri Johor. Terima kasih.
Ya, sila Tanjung Surat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat YB EXCO atas jawapan yang diberikan tadi.
Baru-baru ini, saya telah menyertai Jelajah Belia di Pontian. Sebelum itu, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YB EXCO Belia, Sukan, Pembangunan
Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia kerana menginspirasi mengadakan jelajah ini dan cakna kepada belia-belia seluruh negeri Johor. (Dewan bertepuk).
Dapatan daripada jelajah itu, ada rungutan dan aduan dari golongan belia, di mana mereka ini sukar mendapatkan bantuan atau geran bagi memulakan program-program pertanian. Apakah pendekatan kerajaan bagi membantu dan mengatasi perkara ini? Terima kasih
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Tanjung Surat atas soalan tambahan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kami memang menyedari terdapat ramai di kalangan usahawan-usahawan baru ini yang gagal mendapatkan bantuan, sukar mendapatkan pinjaman dan sebagainya untuk memulakan program-program terutama menceburkan diri dalam bidang pertanian terutamanya golongan muda.
Dan sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka yang ingin menceburkan diri atau mendapatkan bantuan atau pinjaman-pinjaman untuk mulakan perniagaan ini sebenarnya perlu memenuhi syarat kriteria yang ditetapkan oleh jabatan, antaranya ialah :
Pertama, mesti menghadiri kursus atau seminar untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan.
Yang keduanya, perlukan dapat pengesahan status tanah. Iaitu sama ada tanah milik persendirian atau milik pihak lain yang mendapat persetujuan untuk menggunakan tanah tersebut.
Dan yang ketiganya, Yang Berhormat Datuk Speaker ialah mesti di kalangan mereka ini telah memulakan sebahagian daripada kerja-kerja pertanian. Jika mereka fresh, belum pernah buat, memang sukar untuk menerima bantuan ataupun mendapat pinjaman dan sebagainya. Terima kasih.
Soalan tambahan..
Parit Raja, bangun dulu.
Terima kasih.
Alhamdulillah, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO itu tadi. Soalan saya, ialah kita faham borang-borang ini memang cuma ada Jabatan Pertanian, Pejabat Pertanian Daerah sahaja, ia tidak boleh diletak di pejabat-pejabat Wakil Rakyat. Cuma kaedah, cara nak memohon itu ada macam tak laluan fast track. Jadi kalau mohon tahun ini, dapat tahun ini. Kalau mohon tahun ini, dapat tahun depan itu, saya ingat takut dah hilanglah minat belia-belia kita, motivasi belia-belia kita untuk menceburi bidang sektor pertanian sebab mereka, mereka berminat dan mereka bukan kalau kita tidak bagi pun mereka usahakan barang itu sendiri, tetapi ada laluan, ada permohonan, kata boleh mohon, mohon. Tapi barangnya terlalu lambat untuk diperoleh. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya faham apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Parit Raja tentang perkara ini dan ia bukan perkara baru. Memang pihak jabatan kerap menerima rungutan tentang perkara ini. Walau bagaimanapun jabatan terikat dengan perolehan dan sebagainya. Dan sebab itu, kita mengadakan belanjawan atau bajet tahunan untuk merangka program dan perbelanjaan untuk tahun hadapan.
Walau bagaimanapun, jika ia melibatkan peruntukan yang tidak berskala besar, maksudnya peruntukan-peruntukan kecil contoh setakat bekalan untuk piping ringkas, dengan izin, untuk peralatan pam yang berskala kecil dan tidak melibatkan kos yang besar, ia boleh dirunding dengan Pejabat Pertanian Daerah masing-masing atau melibatkan Pejabat Jabatan Pertanian kerana kita ada peruntukan lain yang boleh diselaraskan mengikut keperluan. Insya-Allah YB.
Soalan tambahan, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ha, ya sila Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sesungguhnya sektor pertanian itu merupakan satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan utama negeri Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan tahniah kepada YB EXCO serta barisan jabatan-jabatan yang terlibat yang dilihat begitu bersungguh-sungguh merevolusikan pertanian kita dengan memperkenalkan kaedah dan teknik pertanian moden serta memberikan galakan kepada belia untuk menceburi diri dalam bidang pertanian.
Walau bagaimanapun Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya pertanian itu adalah satu perniagaan. Dan perniagaan itu memerlukan modal. Soalan tambahan saya adalah, berdasarkan jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan mengikut jabatan, bolehkah dijelaskan di sini peruntukan-peruntukan yang dikhaskan untuk daerah Tangkak dan berapakah ramai belia yang terlibat? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, diawal ucapan saya, jawapan lisan saya tadi saya sebutkan bahawa jumlah keseluruhan peruntukan yang diperolehi oleh jabatan ini, ataupun Kerajaan Negeri Johor daripada kementerian dan negeri ialah sebanyak RM19 juta bagi tahun 2023. Daripada jumlah itu, RM6,262,944.00 adalah peruntukan khusus untuk belia yang melibatkan 1,995 orang penerima di kalangan belia iaitu 32% daripada jumlah keseluruhan peruntukan daripada Jabatan Pertanian. Dan daripada RM6,262,944.00 jumlah peruntukan keseluruhan yang diperolehi oleh Johor dan daripada 1,995 jumlah belia yang terlibat, kalau boleh saya sebutkan di sini antara daerahnya ialah Segamat 300 orang terlibat, Muar 234 orang terlibat, Kluang 231, Mersing 291, Kulai 57, Kota Tinggi 141 orang, Johor Bahru 279, Pontian 42, Batu Pahat 312 dan Tangkak seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat tadi ialah seramai 108 orang melibatkan RM355,845.00 jumlah tersurat. Terima kasih Yang Berhormat.
Dan, ambil kesempatan Yang Berhormat, saya juga mohon kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Ahli Dewan, bahawa program ataupun projek pembangunan yang boleh dipohon ataupun yang perlukan perhatian oleh belia ini bukan hanya terdapat dalam Jabatan Pertanian, Veterinar, Perikanan semata-mata. Maksudnya bukan di bawah sekadar, di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar sahaja, tetapi mereka boleh juga merujuk kepada Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia kerana di sana pun ada banyak peruntukan, bantuan yang boleh diperolehi oleh belia khusus untuk pembangunan ekonomi belia. Terima kasih Yang Berhormat.
Dijemput Tenang.
Tenang tenang air di laut, sampan kolek bawa ke tanjung, hati terkenang mulut menyebut, budi baik rasa nak junjung. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 6.
Apakah usaha kerajaan negeri bagi mengawal kadar sewa premis seperti rumah dan kedai supaya tidak membebankan penyewa? Perlukah ditetapkan harga siling supaya harga dapat diselaraskan?
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tenang, soalan apakah usaha kerajaan negeri bagi mengawal kadar sewa premis seperti rumah dan kedai supaya tidak membebankan penyewa? Perlukah ditetapkan harga siling supaya harga dapat diselaraskan?
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman kerajaan negeri melalui PKPJ sangat menitikberatkan isu-isu yang dekat dengan rakyat, khususnya melibatkan perkara berkaitan perumahan. Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tenang, mengenai usaha kerajaan negeri bagi mengawal kadar sewa premis seperti rumah dan kedai, dibawah PKPJ kesemua premis-premis yang dikawal selia oleh pihak PKPJ, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor termasuk rumah sewa PPR, rumah sewa RSK, rent to own, Rumah Transit Bangsa Johor, kadar sewa ditetapkan dan sangat berpatutan. Misalnya kadar sewa PPR ditetapkan adalah paling rendah RM124.00 sebulan dan paling tinggi RM250.00 sebulan dengan keluasan 750 sq ft, 3 bilik 2 bilik air. Manakala bagi Rumah Transit Bangsa Johor ditetapkan kadar sewa adalah RM650.00, di mana 30% lebih rendah dari kadar sewaan pasaran. Kadar yang ditetapkan ini sangat berpatutan dan tidak membebankan rakyat.
Untuk Rumah Transit Bangsa Johor ini Yang Berhormat Datuk Speaker, ini adalah satu program dibuka kepada orang yang baru berumah tangga di mana RM600.00 dia bayar kepada PKPJ, RM650.00, RM190.00 disimpan sebagai deposit. Selepas 3 tahun, dia akan mengumpulkan lebih kurang dalam RM5,000.00 lebih atau, dan duit itu akan dikembalikan kepada penyewa dan PKPJ menawarkan rumah mampu milik kepada mereka ini.
Bagi premis yang bukan di bawah kelolaan PKPJ, kerajaan negeri juga akan memberi keutamaan bagi memastikan Bangsa Johor tidak terbeban dengan isu-isu yang berkaitan dengan kadar sewa yang tinggi.
Untuk makluman Yang Berhormat, pada Mac yang lalu, Rang Undang-Undang atau dipanggil RUU Akta Sewaan Kediaman dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. Yang mana akta ini akan mengawal isu yang wujud dalam sektor sewaan kediaman yang pada ketika ini tiada undang-undang khusus membuat pemantauan. Antara perkara yang terkandung dalam Rang Undang-Undang ini yang dirangka adalah berkaitan dengan sewaan kediaman, tanggungjawab penyewa dan pemilik rumah serta tindakan penguatkuasaan. Rang Undang-Undang ini turut menyediakan prosedur tindakan dan mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam urusan sewa kediaman. Langkah ini dilihat memberi sinar baru dalam mewujudkan garis panduan lebih jelas berkenaan sewa kediaman. Sekali gus, dapat menyelesaikan konflik berpanjangan pembeli, pemilik dan penyewa seperti harga sewa dan keluasan ruang sewaan yang tidak masuk akal, pertikaian tanggungjawab pemilik dan penyewa serta konflik antara pemilik dan penyewa. Melalui akta sewaan kediaman, terma kontrak penyewaan dibuat mengikut garis perundangan yang akan selari dengan akta sewaan yang akan dilaksanakan kelak. Johor akan menyokong Rang Undang-Undang Akta Kediaman ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas jawapan Yang Berhormat EXCO tadi. Soalan tambahan saya, adakah kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan zon harga sewa premis perniagaan yang terkawal bagi satu-satu kawasan premis terutama kawasan kecil seperti Majlis Daerah Labis, Daerah Kecil Labis, memandangkan gerai-gerai atau kedai-kedai yang disediakan oleh PBT ini sangat-sangat tidak mencukupi. Terima kasih.
Untuk makluman Yang Berhormat Tenang, kalau premis, gerai-gerai atau kedai-kedai yang di bawah PBT ini, biasanya di peringkat Jawatankuasa, Ahli-Ahli Majlis bersama PBT yang tentukan kadar yang sesuai untuk satu-satu premis. Kalau, itu di peringkat PBT-PBT lah. Sebab itu peranan Ahli-Ahli Majlis dalam mendengar suara hati rakyat dan di bawa di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan untuk dibincangkan kadar yang sesuai untuk penyewa-penyewa ini.
Seperti semua sedia maklum, pada tahun 2020 ketika COVID melanda selama dua tahun, banyak premis-premis di bawah PBT-PBT ini kita beri secara sewa percuma. Ini adalah tanggungjawab kerajaan dan untuk menjawab dari segi lokaliti atau kawasan-kawasan tertentu untuk ditetapkan harga sewaan kedai itu sendiri setakat ini tidak ada dasar atau rang undang-undang tertentu. Sebab itu dasar yang akan diputuskan di peringkat Parlimen ini akan memberi kita atau maklumat tentang prosedur, tindakan dan mekanisme penyelesaian untuk jangka masa panjang. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker..
Tak boleh dua kali Yang Berhormat.
Tak boleh ke?
Dijemput Perling.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.
Nyatakan rancangan kerajaan negeri untuk menyelaraskan strategi pelaburan dan perindustrian di Johor dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada September yang lalu.
Yang Berhormat wakil ke apa?
Wakil boleh?
Dia minta wakil ke apa?
Dia tidak hadir hari ini.
Dia tak ada bagi nota, kan? Dia ada bagi nota ke apa untuk minta kebenaran soalan dia diwakilkan.
Ha?
Saya jemput Maharani.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 8.
Mohon nyatakan jumlah saudara baru mualaf bermula dari tahun 2020 sehingga sekarang di negeri Johor dan bagaimanakah status pemantauan serta rancangan pemurnian akidah kepada mereka dan umat Islam secara keseluruhannya?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Maharani soalannya mengenai jumlah saudara
baru bermula dari tahun 2020 sehingga sekarang dan beliau bertanyakan kaedah pemantauan dan rancangan pemurnian akidah yang dilaksanakan di Johor.
Untuk makluman Dewan yang mulia, seramai 728 orang saudara baru pada tahun 2020, 688 orang pada tahun 2021, 766 orang pada tahun 2022 dan pada tahun ini sehingga November seramai 633 orang saudara baru telah memeluk agama Islam. Saudara kita di negeri Johor terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan, Orang Asli juga warga asing.
Untuk makluman Yang Berhormat, di negeri Johor telah ditubuhkan satu persatuan yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita yang dikawal selia oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada tahun 2020.
Pertubuhan ini berperanan dalam melaksanakan modul pengajian Islam berkaitan akidah, ibadah, muamalah, sirah, akhlak dan pengajian al-Quran. Antara lain pertubuhan ini berfungsi memberi bimbingan keagamaan kepada golongan mualaf termasuk rakan-rakan kita Orang Asli. Bekerjasama dan membantu Jabatan Agama Islam Negeri Johor dalam usaha mempertingkatkan syiar Islam dan menjaga kebajikan sosioekonomi golongan mualaf ini. Di samping itu, melalui program pengukuhan akidah dan pemantapan kefahaman akidah Islam, beberapa aktiviti telah dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersama rakan-rakan mualaf. Antaranya Kursus Islam Pilihanku, Kem Sinar Ibadah, Majlis Iftar Ramadan, Program Ziarah Riadah, Kursus Tafsir al-Quran dan Sambutan Maulidur Rasul. Pertubuhan ini menerima peruntukan secara purata sebanyak RM15 juta setahun daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah, kebajikan mualaf dan juga membayar elaun tenaga pengajar. Saudara kita ini di negeri Johor dipecahkan kepada dua kelompok, yang pertama Saudara Kita Mualaf dan juga Saudara Kita Orang Asli.
Bagi Saudara Kita Mualaf dilaksanakan di 13 buah Darul Ukhwah di setiap daerah di mana 3 di daerah Johor Bahru, 2 di daerah Kluang dan 1 di setiap daerah. Seramai 123 orang guru pengajar Saudara Kita yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan 30 daripadanya dilantik dari kalangan mualaf itu sendiri yang telah memeluk agama Islam lebih daripada 10 tahun terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk juga rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak. Kelas pengajian agama Islam Darul Ukhwah diadakan pada setiap hari Ahad.
Bagi Saudara Kita Orang Asli, melalui pemerkasaan akidah masyarakat Orang Asli terdapat 36 buah surau kampung Orang Asli yang telah dibina di mana 33 surau daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor, 2 daripada JAKIM dan 1 daripada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) bagi melaksanakan Modul Pengajian Islam. Seramai 14 penggerak lantikan JAKIM dan 8 pembantu penggerak lantikan Majlis Agama Islam Negeri Johor ditempatkan di perkampungan Orang-orang Asli. Majoriti penggerak JAKIM adalah di kalangan masyarakat setempat manakala pembantu penggerak agama Islam daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor dilantik di kalangan Orang Asli sendiri, Yang Berhormat Speaker. Tugas mereka adalah untuk menjalankan aktiviti dakwah, kelas pengajian agama, ziarah kampung Orang Asli serta hal ehwal pengislaman dan kematian untuk mereka. Kelas pengajian Islam dilaksanakan pada waktu pagi dan malam selepas solat maghrib.
Menyedari kekurangan penggerak dan pembantu penggerak yang ditugaskan untuk menjalankan aktiviti dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor telah melantik seramai 31 orang guru pengajar Orang Asli bagi melaksanakan aktiviti ini. Guru pengajar ini dibayar elaun, Datuk Speaker. 31 orang guru ini akan mengajar di surau kampung Orang Asli dan telah ditetapkan sehingga pemakluman lain ataupun ditukarkan ke tempat yang lain. Penggerak-penggerak ini perlu menjalankan aktiviti ziarah,
pengislaman dan menguruskan kematian di kampung-kampung rakan-rakan kita Orang Asli, yang telah saya sebutkan tadi. Manakala, guru pengajar pula akan mengajar pada waktu yang ditetapkan.
Perkara kedua yang dibangkitkan Yang Berhormat Datuk Speaker, iaitu tentang permurnian dan pemantauan akidah umat Islam. Pemerkasaan akidah bagi umat Islam secara keseluruhannya dapat dilihat melalui kerjasama antara Bahagian Penguatkuasa dan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor yang menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap kes-kes kesalahan akidah terutamanya kes-kes yang masih aktif, agar ajaran tersebut tidak berkembang dan disebarluaskan. Antara kes utama yang sentiasa dipantau dan difatwakan sesat dalam negeri Johor ini adalah berkaitan Syiah, Hizbut Tahrir, SiHulk, Hadi Minallah dan Aurat Muhammadiyah. Antara program dan aktiviti pemulihan akidah yang dijalankan oleh Jabatan Agama Negeri Johor adalah mengadakan sesi khidmat kaunseling secara berkala kepada individu atau kumpulan yang telah dikesan mengamalkan ajaran yang bercanggah dengan Islam.
Berdasarkan laporan daripada Bahagian Penguatkuasaan, sebanyak 29,065 kes dilaporkan yang melibatkan kesalahan jenayah syariah dalam tempoh 10 tahun dan 71 daripadanya adalah kes pelanggaran Enakmen Jenayah Syariah yang melibatkan ajaran sesat dan amalan sesat. Bagi mengelakkan individu dan kelompok yang terlibat daripada terus hanyut dengan ajaran dan amalan yang sesat Datuk Speaker, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memperuntukkan sebanyak RM400,000.00, pada tahun hadapan bagi mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurnian Syariah Islam. Pemurnian akidah yang terletak di Jalan Dato’ Menteri Johor Bahru. Penubuhan pusat pemulihan ini telah saya jadikan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tahun 2024, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Pusat pemulihan ini diwujudkan bagi menempatkan individu-individu atau kelompok yang disabitkan kesalahan jenayah syariah berhubung dengan akidah mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997. Pusat pemulihan ini bukan sahaja diwujudkan bagi mereka yang terpesong akidahnya, tapi juga menempatkan golongan-golongan bagi pemurnian isu-isu LGBT, Yang Berhormat Datuk Speaker, agar kembali ke fitrah asal. Kewujudan pusat pemulihan bagi golongan yang mengamalkan hubungan sesama jantina ini ataupun yang tidak menepati norma kebiasaan manusia, rumpun kita, merupakan pertama kalinya diadakan di Malaysia yakni berlaku di bumi Johor Darul Ta’zim. Status pengoperasian pusat pemulihan tersebut sedang dalam proses persiapan kemasukan harta modal di bahagian pejabat, asrama pelatih lelaki dan perempuan. Pusat ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada Julai 2024. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya, sila Semerah, eh.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya dan apakah jenis pecahan bantuan yang diberikan kepada mualaf dan seterusnya ialah adakah kerajaan negeri memberi peruntukan khusus kepada Persatuan Saudara Baru yang aktif di negeri Johor contohnya seperti Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita di daerah Muar yang begitu aktif dan dapat menjalankan beberapa aktiviti yang telah pun dirancang. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di awal jawapan telah saya sebutkan. Purata RM15 juta setahun telah pun diberikan bagi maksud pengoperasian Persatuan Saudara Baru kita ini di negeri Johor. Dan ianya dipecahkan bagi maksud kategori pengoperasian persatuan dan juga kelas-kelas agama yang diadakan serta juga bagi maksud aktiviti dakwah dan kebajikan mualaf itu sendiri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi saudara-saudara baru kita di negeri Johor ini, fatwa telah mengatakan saudara baru yang dipanggil mualaf adalah bagi tempoh sehingga sepuluh tahun sahaja. Bermaksud kita yakin dan percaya saudara baru kita ini sama ada Orang Asli ataupun masyarakat yang biasa, mereka mampu mengadaptasi dan mempelajari ilmu agama dalam tempoh sepuluh tahun maka tempoh ini mereka dipanggil mualaf. Dalam tempoh ini Yang Berhormat Datuk Speaker, apakah yang kita bantu, antaranya adalah mereka diberikan insentif bulanan bagi maksud yang bujang, berkahwin, kebajikan mereka, Yang Berhormat Datuk Speaker, masuk Islam kita jaga sebaik-baiknya. Yang Berhormat Datuk Speaker, dan sekiranya mereka ini tergolong dalam golongan asnaf Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka berhak seperti mana orang Islam yang lain, boleh diberikan bantuan saraan bulanan asnaf, yang mana mencakupi saraan bulanan, kebajikan perubatan, pendidikan juga hari raya, jadi maksudnya Yang Berhormat Maharani, mereka ini sentiasa dalam jangkauan kita dan perhatian kita dan Alhamdulillah sehingga kini semua kebajikan rakan-rakan mualaf kita sentiasa kita santuni sebaik-baik mungkin.Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Stulang, ya. Sebarang soalan kalau mahu diwakilkan, perlu ada notis kepada saya ataupun Pejabat Jurutulis, tapi Yang Berhormat Perling tidak ada memberi sebarang notis, walaupun kita faham beliau juga adalah Ahli Parlimen dan juga Timbalan Menteri, kerana kesibukan tugas ya, tetapi perlu notis dan tadi Yang Berhormat pun menyebut soalan saya, ya sedangkan itu soalan Perling. Sebab itu saya tak benarkan. Sebelum saya menjemput pertanyaan berikutnya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran 44 orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Semerah. Dijemput Sri Medan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.
Berapakah jumlah sekolah dan peruntukan keseluruhan bagi Projek Penyelenggaraan Tandas RM70,000.00 setiap sekolah yang peruntukannya diberi oleh kerajaan persekutuan serta apa tindakan kerajaan negeri dalam membantu dan memantau menyiapkan projek agar pelajar-pelajar negeri Johor dapat manfaatnya?
Bismillahirramanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Sri Medan bertanya, berapakah jumlah sekolah dan peruntukan keseluruhan bagi projek penyelenggaraan tandas RM70,000.00 setiap sekolah, yang peruntukannya diberi oleh kerajaan persekutuan serta apa tindakan daripada kerajaan negeri dalam membantu dan memantau menyiapkan projek agar pelajar-pelajar di negeri Johor ini dapat manfaatnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyalurkan sebanyak RM65.66 juta bagi projek khas naik taraf tandas sekolah di negeri Johor. Setiap sekolah diperuntukkan sebanyak RM70,000.00, untuk kerja-kerja menaik taraf kefungsian tandas sekolah bagi memastikan persekitaran, infrastruktur dan kemudahan pembelajaran untuk murid di semua sekolah berada dalam keadaan yang kondusif. Agensi pelaksana bagi projek khas ini adalah di bawah seliaan dua agensi dengan pecahan seperti berikut:
Agensi pelaksana pertama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor sendiri bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan lima daerah Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Muar dan Mersing. Dan bilangan sekolah yang terlibat sebanyak 475 buah sekolah dengan peruntukan sebanyak RM33.2 juta. Agensi pelaksana yang kedua, Pejabat Pembangunan Negeri Johor bersama dengan Pejabat Daerah melibatkan enam daerah, Kota Tinggi, Kulai, Pasir Gudang, Pontian, Segamat dan Tangkak. Ini melibatkan 463
bilangan sekolah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM32.4 juta. Projek khas ini adalah inisiatif dan adalah inisiatif dan aspirasi daripada YAB Perdana Menteri yang ingin menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih 500,000 pelajar dan hampir 50,000 guru di negeri Johor ini.
Memandangkan penyaluran peruntukan dengan jumlah yang sangat banyak dengan melibatkan 938 buah sekolah, sudah tentu kerajaan persekutuan memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk sama-sama terlibat di dalam projek khas ini demi mencapai objektif pelaksanaan. Penglibatan Pejabat Daerah secara langsung di bawah pemantauan Pejabat Pembangunan Negeri Johor sangat-sangat membantu di dalam projek khas ini bagi enam daerah iaitu yang mana saya sebutkan tadi, Kota Tinggi, Kulai, Pasir Gudang, Pontian, Segamat dan Tangkak. Dibawah seliaan Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Pejabat Daerah telah diberikan mandat dan tanggungjawab sepenuhnya dalam merancang, melaksana dan memantau projek khas ini. Penglibatan secara langsung adalah di dalam penentuan skop kerja tandas, proses perolehan dan perlantikan syarikat, pemantauan kerja dan juga pengesahan kerja dan pembayaran.
Ahli Yang Berhormat sekalian, bantuan dan pemantauan daripada Pejabat Daerah sebagai wakil kerajaan negeri telah membuktikan komitmen daripada kerajaan negeri untuk sama-sama memastikan agar warga sekolah terutama di negeri Johor ini mendapat manfaat daripada projek khas ini. Untuk makluman semua, pada masa ini Pegawai-pegawai Teknikal Pejabat Daerah di peringkat akhir penyiapan dan seterusnya bergerak ke arah untuk mengesahkan kerja supaya pembayaran dapat dilaksanakan pada tahun semasa seperti yang diarahkan.
Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan hari ini juga, mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor di atas komitmen daripada Pegawai-Pegawai Yang Berhormat di dalam projek khas tandas negeri Johor ini. Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat yang sebaiknya kepada warga sekolah di samping dapat mengukuhkan lagi kolaborasi di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Dengan izin, Datuk Yang di-Pertua, alone we can sold little, together we can do so much. Sekian, terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih, saya setujulah apa juga jawapan daripada Yang Berhormat EXCO tentang soalan saya sebentar tadi. Tak sangka rupanya Yang Berhormat Tan Sri pun banyak bantu untuk menguruskan projek yang di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya cukup gembira, saya suka dan saya cukup teruja dengan perhubungan baik antara Kementerian dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Johor untuk membawa peruntukan RM70,000.00 kepada setiap sekolah yang ada dalam negeri Johor dan saya tahu, program ni adalah program untuk satu Malaysia, tapi ini merupakan satu kejayaan jugalah untuk negeri Johor. Dan saya harap, selepas ini akan ada hubungan yang baik kerana banyak lagi keperluan sekolah-sekolah, kerajaan negeri perlu terus melobi, masuk Jabatan Pendidikan, jadinya, saya tak perlu melobilah untuk masuk ke dalam sekolah-sekolah.
Soalan saya, Yang Berhormat Datuk Speaker, mungkin sama ada YB EXCO maklum atau tidak, setiap sekolah diberi peruntukan RM70,000.00. Saya memberi contoh, untuk kawasan saya sahaja ok, saya ada empat buah sekolah menengah, 18 buah sekolah rendah, dengan bilangan murid berbeza dan juga bilangan tandas pun berbeza. Jadi, ada atau tidak perbincangan antara Kementerian dan juga Jabatan Pendidikan ataupun Pejabat Pembangunan Negeri Johor tentang keadaan yang ada di peringkat sekolah-sekolah ni. Jadi contohnya, RM70,000.00 kalau untuk Sekolah Kebangsaan Air Putih cuma ada 4 tandas, tapi kalau kata Sekolah Kebangsaan Parit Sulong ada 12 tandas. Macam mana cara
pengagihan peruntukan ini sedangkan sekolah yang kecil dapat peruntukan yang sama dengan sekolah yang besar. Jadi, mohon jawapan daripada YB EXCO. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih atas soalan tambahan itu. Yang Berhormat Datuk Speaker, kenapa semua sekolah dapat peruntukan yang sama, sekolah yang murid tak ramai dan sekolah murid yang ramai tetapi peruntukan adalah sama. Sering kali ditanya oleh saya, ini adalah sempena dengan pemberian daripada Menteri Pendidikan Malaysia. Jika, kita nak buat unjuran mengikut jumlah pelajar akan melambatkan proses penyiapan tandas ini. Ia juga dapat melihatkan kreativiti sekolah dalam menggunakan peruntukan RM70,000.00 bagi pembinaan dan penyelenggaraan tandas tersebut. Untuk Sri Medan, kebetulannya 2 sekolah saya sempat memantau, SK Sri Medan, Batu Pahat dan SJKC Chung Hwa, Sri Medan. Alhamdulillah sering saya menjadikan contoh dua sekolah ini ke daerah-daerah yang lain kerana tandasnya begitu cantik. Jadi, selain daripada itu, pemantauan kepada sekolah sering kali dilakukan. Tindakan juga akan diambil di mana-mana kontraktor yang tidak memenuhi BQ. Jadi, sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Sri Medan.
Boleh saya..
Saya pernah jumpa sekolah di pedalaman yang tandasnya tak ada dinding pun antara satu tandas dengan satu tandas yang lain. Jadi oklah tu, kalau RM70,000.00 walaupun berbeza.
Yang Berhormat...
Ya, tak boleh tanya soalan lagi.
Saya nak mulakan Peraturan 45(9), ya.
Apa dia?
Ahli Dewan tidak dibenarkan bercakap lebih dari sekali, tapi saya perlukan jawapan, keterangan daripada YB EXCO.
45?
45(9).
Tak, Yang Berhormat. Sila duduk, saya tak benarkan. Boleh?
Boleh atau tidak Yang Berhormat Datuk Speaker?
Tidak boleh.
Tidak boleh, saya akur.
Dijemput, Penawar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.
Apakah perkembangan terkini cadangan kerajaan untuk mewujudkan hab atau pusat makanan ringan yang diusahakan usahawan wanita di setiap daerah di negeri Johor dalam usaha meningkatkan ekonomi golongan wanita terutama ibu tunggal dan wanita B40.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Penawar. Soalan yang diberikan, bagaimanakah usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi golongan wanita terutama ibu tunggal dan wanita B40.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjawab soalan Yang Berhormat Penawar, suka saya kongsikan terlebih dahulu statistik atau data terkini di dalam Sistem Pusat Data Usahawan Johor atau dikenali PADU supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat gambaran lebih jelas dan maklum mengenai situasi terkini khususnya berkaitan usahawan wanita di Johor.
Untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, menerusi rekod di dalam sistem PADU, setakat 27 November 2023 seramai 16,256 usahawan wanita atau bersamaan dengan 38.51% dari jumlah keseluruhan 42,221 usahawan yang telah pun mendaftarkan diri menerusi sistem PADU.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, seperti mana Yang Berhormat EXCO Pertanian tadi nyatakan, betul, ada sebilangan peruntukan-peruntukan yang telah pun diagihkan. Suka saya kongsikan di dalam Dewan yang mulia ini kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2023 di bawah PUJB selaku sekretariat ataupun pengerusi di bawah MPUNJ sebanyak RM192.698 juta peruntukan sudah dibelanjakan di bawah agensi MPUNJ. Lebih 30,000 usahawan Johor yang menerima manfaat. Dan mengikut rekod dan data yang telah dikumpulkan oleh sekretariat Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB), sejumlah RM183.199 juta diperuntukkan membabitkan keseluruhan agensi. Asalnya, pada tahun 2023 namun setakat Oktober lalu, sebanyak RM192.689 juta sudah dibelanjakan termasuklah peruntukan tambahan yang memberi manfaat kepada 30,568 usahawan keseluruhannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, data ini juga termasuk dengan pengusaha sektor-sektor informal untuk kebanyakan masih tidak berdaftar dalam sistem PADU. Untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, definisi sektor informal dalam konteks keusahawanan adalah pertubuhan atau perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana agensi seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Badan Profesional dan Pihak Berkuasa Tempatan serta memiliki bilangan pekerja yang kurang daripada 10 orang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat juga suka saya sarankan untuk berkongsi maklumat kepada orang-orang kawasan agar layari sistem PADU, padu.pujb.my. Mungkin ramai usahawan-usahawan menanyakan soalan-soalan, apakah peruntukan? Bagaimana peruntukan? Sebab itulah di bawah agensi PUJB ini kita ada Pemandu, Jawatankuasa Pemandu dan mempunyai keahlian 49 agensi, semua agensi di bawah usahawan dan kita kumpulkan.
So, alhamdulillah sebanyak jumlah yang telah saya sebutkan tadi dan dimanfaatkan kepada keseluruhan usahawan-usahawan yang telah pun memohon. Dan di dalam sistem PADU juga bukan sahaja untuk kita agihkan peruntukan malah belia ataupun usahawan-usahawan dapat melihat program-program ataupun peruntukan-peruntukan yang boleh dimohon.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak jabatan juga, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ketika ini masih membangunkan pangkalan data bagi sektor informal ini, namun pihak DOSM pada tahun 2021, ada mengeluarkan dapatan awal di mana Johor memiliki 133,655 individu atau peniaga yang terlibat dalam sektor informal dan industri mikro.
Jumlah ini meletakkan Johor di tangga ke-3 selepas Selangor mempunyai 271,944 individu ataupun peniaga, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 146,256 orang ataupun peniaga dan saya yakin jumlah ini kian bertambah memandangkan sektor ekonomi yang semakin pulih dan terus memacu selepas pasca COVID-19.
Sebagai alternatif bagi memuktamadkan keperluan khusus mewujudkan pusat makanan ringan di setiap daerah, adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor telah pun mewujudkan pusat data yang bertujuan untuk memperkukuhkan lagi ekosistem dalam bidang keusahawanan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu pihak kerajaan mencadangkan agar pusat pengumpulan produk IKS sedia ada yang telah beroperasi melibatkan kesemua daerah dapat dinaik tarafkan untuk dijadikan hab IKS bagi menempatkan produk keluaran usahawan-usahawan wanita termasuk ibu tunggal dan golongan B40. Bagi merealisasikan perkara ini, saya sendiri akan menyelaras satu jawatankuasa task force, dengan izin, melibatkan daerah, pihak PBT termasuk PUJB dan agensi lain seperti Jabatan Pertanian dan FAMA untuk dilaksanakan agar perkara ini dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tahun 2024.
Justeru, saya menyeru pihak kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dapat dengar ataupun lihat kemajuan-kemajuan yang ada di Johor ini, malangnya saya lihat di peringkat federal, Menterinya agar kurang mendengar ataupun turun ke padang, insya-Allah saya akan ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan, lebih kerap dan memohon peruntukan-peruntukan lebih banyak untuk usahawan-usahawan di negeri Johor. Sekian, terima kasih Yang Berhormat. (Dewan bertepuk).
Ya, sila Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Jika dilihat kepada statistik dan bilangan usahawan wanita di negeri Johor agak signifikan dan memberangsangkan.
Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat EXCO, apakah inisiatif dan program berkesan yang sudah dan akan dilaksanakan untuk mentransformasikan usahawan ini kepada usahawan digital supaya semua individu atau usahawan wanita ini bukan sahaja dapat sustained, dengan izin, seterusnya menyumbangkan produk perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik?
Terima kasih YB Penawar. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahl-Ahli Yang Berhormat dan Yang Berhormat Penawar, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) di bawah EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor merupakan agensi yang menjadi Ahli Majlis Pembangunan Ekonomi Negeri Johor seperti yang saya sebutkan, MPUNJ.
Di bawah pelaksanaan YPKDT, terdapat program-program dalam memperkasakan keupayaan wanita dan golongan sasar terutamanya dalam pembangunan keusahawanan wanita iaitu Program Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar atau PINTAR, yang mana di bawah program ini terdapat 3 sub program dalam membantu membangunkan serta meningkatkan keberhasilan ekonomi wanita dan golongan sasar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, program ini telah disusun menjadi satu model atau pusingan yang lengkap dalam melahirkan usahawan terutamanya usahawan rintis. 3 sub program di bawah PINTAR adalah:
1. Woman Income Generating Skill Projects (WINGS), dengan izin. 2. Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, atau (SKIP); dan 3. Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).
Program-program ini juga meliputi latihan, kursus asas, pemberian bantuan peralatan sehinggalah kepada pemantapan kemahiran usahawan.
Bagi Woman Income Generating Skill Projects (WINGS), itu meliputi 2 kaedah perlaksanaanya, iaitu kursus kemahiran asas utama dan kursus kemahiran asas. Kursus-kursus ini telah dilaksanakan di setiap daerah dengan melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti KEMAS, Kolej Komuniti, Jabatan Pertanian, Giat MARA dan lain-lain lagi.
Dan bagi Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIP) ini pula, bantuan telah ditambah baik kaedahnya. Pelaksanaannya meliputi bantuan-bantuan asas peralatan, Basic Business Equipment (BBE), dengan izin. Dan juga, bantuan kemajuan peralatan perniagaan, Advanced Business Equipment (ABE).
Bagi Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB) Yang Berhormat Penawar, YPKDT telah pun melaksanakan sebanyak 12 siri kursus meliputi 3 zon, iaitu Zon Utara di daerah Muar, Tangkak dan Segamat. Di Zon Tengah, daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing. Dan Zon Selatan, daerah Kulai, Pontian dan Johor Bahru serta Kota Tinggi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Program Pemberdayaan Wanita dan Golongan Sasar atau lebih dikenali PINTAR akan diteruskan insya-Allah pada tahun 2024. Dan mensasarkan seramai 1,000 orang pemanfaat, penerima manfaat yang terdiri darpada golongan ibu tunggal, golongan wanita B40, golongan OKU dan lain-lainnya.
Program ini akan diteruskan dalam kaedah perlaksanaan serta akan ditambah baik, insya-Allah dari masa ke semasa agar dapat melahirkan lebih ramai usahawan rintis bagi menjana ekonomi serta meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya 30% daripada pendapatan asal mereka. Dan secara tidak langsung sedikit sebanyak mereka juga dapat membantu dan menjana ekenomi negeri dan Malaysia. Sekian, terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput, Maharani.
Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 11.
Apakah usaha kerajaan negeri membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sektor pekerjaan supaya golongan tersebut boleh bekerja seperti orang biasa? Sejauh manakah keterlibatan golongan ini memenuhi pasaran kerja yang semakin mencabar?
Dijemput, Kemelah.
Selamat pagi, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 12. Terima kasih.
Saya hanya benarkan jawapan dan tidak ada soalan tambahan. Sila.
Terima kasih Datuk Speaker. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya menjawab dua-dua soalan bersekali.
Soalan ditanyakan kepada saya adalah berkenaan membantu golongan Orang Kurang Upaya dalam sektor pekerjaan supaya golongan ini boleh bekerja seperti orang biasa dan sejauh manakah penglibatan golongan ini memenuhi pasaran kerja yang semakin mencabar dan seterusnya sejauh manakah taraf kendiri dan tahap Orang Kurang Upaya dalam menjadikan tahap pendidikan kemahiran kendiri untuk mereka terus bekerja dan peluang mereka, peluang menaikkan taraf golongan ini yang boleh bekerja supaya mereka mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan ihsan orang lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan dan mendayaupayakan golongan Orang Kurang Upaya. Golongan istimewa ini mempunyai hak dan peluang yang sama untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan industri. Bagi memastikan OKU mampu berdikari dan dapat bersaing dan kekal dalam alam pekerjaan, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan JKM Johor melaksanakan Program Job Coach untuk membantu OKU mendapatkan pekerjaan dan pengekalan dalam pekerjaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Job Coach YPDKT ini menggunakan Kaedah Open Employment Model yang diwujudkan oleh United Nation Development Programme (UNDP). Sehingga kini seramai 190 kumpulan istimewa ini mengikuti program di bawah Unit Pembangunan OKU YPKDT telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta dan masih bertahan hingga saat ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman juga sehingga kini seramai 12,350 Orang Kurang Upaya bekerja dengan jumlah pendapatan sebanyak RM1,500.00 dan menerima insentif elaun pekerja OKU JKM sebanyak RM500.00 sebulan. Tambahan JKM juga menyediakan pusat latihan bagi melatih OKU seperti Pusat Latihan Industri dan Pemulihan yang memberikan perkhidmatan kepada OKU seperti melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan. Selain itu juga, Bengkel Terlindung telah ditubuhkan mengikut Kaedah-Kaedah Wokshop Terlindung 1979. Bengkel ini dikhaskan untuk OKU yang tidak berdaya saing untuk dapatkan pekerjaan di pasaran terbuka.
Datuk Speaker, dalam Belanjawan Johor 2024, melalui Teras Ketiga, Jaringan Keselamatan Sosial, Inisiatif 1: Johor Berkebajikan, Inisiatif 6: Pemerdayaan dan Kemandirian Orang Kurang Upaya dan Warga Emas. Kerajaan negeri melalui YPKDT terus mengambil peranan untuk memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya ini dengan meneruskan tiga program utama iaitu Program Pemerkasaan dan Peningkatan OKU, Kemahiran dan Latihan Bantuan Kejurulatihan Pekerjaan Kebajikan, Kursus Intensif Bahasa Isyarat Malaysia dan Kursus Kemahiran dan Kerjaya OKU. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri juga sentiasa memberi galakan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang sama-sama menawarkan perkhidmatan dalam menyediakan latihan dan peluang pekerjaan kepada kumpulan istimewa ini. Di antara pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan pekerjaan kepada OKU negeri Johor adalah Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia Cawangan Batu Pahat iaitu Bengkel Sampul Surat dan Johor Area Rehabilitation Organisation (JARO) yang ada di Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010, dasar yang memperuntukkan 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya. Dasar ini dilaksanakan selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi keupayaan modal insan di kalangan rakyat Malaysia. Melalui dasar ini, OKU yang memiliki kelayakan akademi dan kemahiran sesuai dalam bidang tugas sesuatu jawatan akan dipertimbangkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, seramai 58 orang
penjawat awam yang berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Johor merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pelbagai kategori.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif-inisiatif tersebut dilaksanakan dalam memperkasakan OKU di lapangan bagi tujuan menyokong aktiviti penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan OKU di negara ini. Sesungguhnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan dan mendayaupayakan golongan OKU. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat jika ada di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat ingin membangkitkan tentang Standing Order, selain daripada menyebut fasalnya maka perlu dibacakan butirannya kenapa Standing Order itu dibangkitkan. Jadi apabila Sri Medan bangkit tadi menyebut tentang Perkara 45 (9) ia adalah berkaitan tentang perbahasan, bukan cara-cara menyoal iaitu Perkara 26 sebab itu saya tidak benarkan ya. Lain kali sebut Fasal berapa dan butirannya jadi senang Speaker untuk membuat justifikasi untuk membenarkan Standing Order tersebut.
Jadi Ahli-Ahli Yang Berhormat, soalan-soalan yang tidak dijawab akan dijawab secara bertulis dan sidang ini saya tangguhkan sehingga jam 11.25 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.05 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023.Bill
Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas rundingan bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 Tahun 2023. Saya mohon kerjasama agar mematuhi masa yang telah diberikan. Esok kita akan mula mendengar jawapan penggulungan daripada pihak kerajaan atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya jemput Yang Berhormat Senai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera, salam perpaduan, salam Maju Johor. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berbahas berkenaan Belanjawan Johor 2024 di Dewan yang mulia ini. Pertama kali Senai ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik turut merafak sembah serta merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas lantikan sebagai Pemangku Sultan dan memikul tanggungjawab jaga negeri dan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin merakamkan ucapan tahniah atas usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2024 bertema,”Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, digubal dengan berpegang kepada 6 Teras Maju Johor dan didokong oleh 29 Strategi serta disokong ampuh oleh 99 Inisiatif. Senai amat bersetuju pembangunan ekonomi perlu menjadi fokus utama bagi kerajaan negeri dan kerajaan pusat setelah negara dilanda pandemik COVID-19 dan mengalami ketidakstabilan politik dalam tiga tahun ini. Justeru itu, Senai mengalu-alukan pengumuman Zon Ekonomi Johor – Singapura dan Zon Ekonomi
Khas. Dua projek utama ini akan menjadi pemangkin ekonomi kepada dua zon di bawah Iskandar Malaysia iaitu Zon A Pusat Bandar Johor Bahru dan Zon B Iskandar Puteri. Pada yang sama saya berharap selain daripada dua zon tersebut iaitu Zon E Skudai dan Senai dan Zon F Sedenak juga akan diberikan perhatian dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan akses, kelengkapan pengangkutan awam, kemudahan awam dan sebagainya. Seperti mana yang semua sedia maklum pembangunan infrastruktur memainkan peranan yang amat penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Walaupun daerah Kulai banyak menyumbang dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan, kami tidak mendapat perhatian dan peruntukan pembangunan yang seimbang dalam pembentangan Belanjawan Johor 2024. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sehingga Mac 2023, Johor telah menerima pelaburan pengilangan sebanyak RM1.8 bilion antaranya RM134.5 juta adalah dari daerah Kulai iaitu daerah ketiga tertinggi. Manakala bagi pelaburan sektor perkhidmatan negeri Johor sebanyak RM1.6 bilion dalam tempoh yang sama. Sebanyak RM3.2 juta adalah dari daerah Kulai juga daerah ketiga tertinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti contoh baru-baru ini Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) telah siap menjalankan projek pembesaran balai berlepas dan dijangka mampu meningkat kapasiti pengendalian dari, kepada 5 juta penumpang setahun dari 4 juta penumpang setahun sebelum ini. Oleh itu Senai berasa bersyukur dengan inisiatif yang diambil dijangka yang dijangka lebih ramai pelabur dan juga pelancong akan datang ke Johor melalui pintu masuk LTAS, akan tetapi apa yang merisaukan Senai adalah masalah kesesakan trafik di Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang Senai akan menjadi semakin kritikal memandangkan pembangunan Kawasan Perindustrian Senai dan Senai Airport City dan juga kawasan berhampiran yang semakin membangun secara pesat. Keadaan sekarang adalah pada waktu puncak beratus-ratus bas kilang, bas sekolah dan juga kenderaan persendirian akan sesak di jalan tersebut. Tambahan pula 5 juta penumpang pesawat terbang LTAS turun bergantung kepada laluan yang hanya ada untuk menuju ke destinasi masing-masing.
Jadi, Senai ingin bertanya apa status Laporan Kajian Impak Trafik (TIA) di Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang Senai yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya. Sudah setahun Senai menunggu tetapi tiada sebarang kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan sejak Senai bangkitkan isu ini dalam Dewan yang mulia pada perbahasan pembentangan belanjawan tahun yang lepas. Senai ingin mengesyorkan satu jalan alternatif yang dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas, Jalan Lapangan Terbang Senai dan sekeliling kawasan sekali gus merancakkan lagi sektor pengilangan dan perindustrian di Senai iaitu Jalan Chang Chun, Saleng yang menghubungkan Lebuh Putra Utama, Bandar Putra yang terletak di Kawasan Perindustrian Chang Chun. Kawasan Perindustrian Chang Chun berada di lokasi yang amat strategik iaitu sebelah Jalan Persekutuan FT001 dan sebelah landasan projek elektrik Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru dan juga atas ada jalan berpotensi untuk mengakses ke LTAS.
Namun amat dikesali kawasan perindustrian in itidak disediakan jalan yang proper, dengan izin, dan juga parit dan juga lampu jalan ataupun fasiliti infrastruktur seperti pili Bomba secara terancang. Ini bukan sahaja tidak adil kepada para pengusaha yang telah membayar cukai harta dan cukai tanah atas kegunaan tanah sebagai industri tetapi juga membazirkan potensi-potensi yang ada pada kawasan ini. Tambahan lagi, para pengusaha kawasan perindustrian Chang Chun juga sedang menghadapi masalah untuk mengakses ke kilang mereka susulan kerja-kerja mendirikan pagar hampir siap dilaksanakan di sekeliling tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru. Segala usaha pengilangan hanya bertapak bergantung kepada jalan akses di atas tanah persendirian yang mempunyai risiko tinggi jika pemilik tanah tidak membenarkan mereka terus mengguna jalan tersebut. Oleh demikian, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan saya untuk mengkaji potensi-potensi kawasan perindustrian Chang Chun dan bersetuju untuk
melengkapkan fasiliti infrastruktur yang diperlukan pada masa yang sama, sediakan jalan alternatif ke Jalan Lapangan Terbang Senai juga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai menyambut baik kenyataan media daripada YB EXCO Kerja Raya Pengangkutan Dan Infrastruktur tentang kerajaan Johor akan mengadakan Mesyuarat Khas Transit Aliran Ringan iaitu LRT di bandar raya Johor Bahru. Dan kertas cadangan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan persekutuan mengikut kajian awal, 3 jajaran LRT melibatkan laluan Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri akan dicadangkan dengan jarak sejauh kira-kira 30 km dan juga akan dipanjangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Selain LRT, Senai berharap bahawa dalam jajaran projek Elektrik Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru juga dapat menambah stesen baharu di Senai di antara Stesen Kulai dan juga Stesen Kempas Baru. Senai difahamkan cadangan ini memang dalam perancangan tetapi jadual masa pelaksanaannya bergantung kepada keperluan. Dengan penambahan Stesen Senai sudah tentu ia sekali gus membantu melengkapkan sistem pengangkutan Senai dan memacu ekonomi tempatan dan Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti tema Belanjawan Johor tahun ini, tahun 2024 “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”. Walaupun kita perlu bertungkus lumus untuk memacu pembangunan tetapi tujuan muktamad adalah memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat. Oleh demikian, Senai ingin menitik beratkan tentang impak-impak negatif projek pembangunan terhadap sosial, ekonomi tempatan. Pertama, isu banjir berulang yang dipuncakan oleh projek pembangunan pada 11 November 2023 yang lepas, banjir berlumpur sekali lagi berlaku di Jalan Persekutuan berdekatan Kulai Besar.Air dari kolam takungan air di tapak pembinaan melimpah ke atas jalan raya yang mempunyai aliran trafik yang tinggi seterusnya memasuki rumah penduduk-penduduk. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB EXCO Dato’ Jafni yang telah turun padang dan membuat lawatan dan terus mengarah kerajaan Pihak Berkuasa Tempatan, PBT untuk memberi penyelesaian banjir. Walaupun beberapa inisiatif telah kemukakan oleh PBT, seperti meminta pemaju-pemaju berkaitan untuk memastikan sistem kawalan hakisan dan kelodak di tapak pembinaan dilaksanakan sebagaimana pelan kelulusan dan diselenggaraan mengikut jadual. Akan tetapi, kerugian harta benda, ancaman kesel amatan dan kesulitan sudah wujud dan memberi kesan negatif yang besar kepada mangsa-mangsa banjir. Justeru itu, tindakan yang lebih proaktif perlu diambil dari segi perancangan sistem saliran, pemantauan projek-projek tapak pembinaan perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa secara lebih kerap jika mendapati pemaju-pemaju yang tidak mematuhi pelan kelulusan perparitan atau kolam takungan air tidak diselenggara, tindakan tegas seperti memberi notis berhenti kerja perlu diambil supaya penambahbaikan akan dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kesilapan atau kecuaian tidak berulang lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu banjir di Taman Aman Senai merupakan salah satu isu yang sememangnya Senai beri tumpuan sejak menjadi Wakil Rakyat. Pada tahun yang lepas, 2 kali berturut-turut taman ini dilanda banjir yang teruk. Senai ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kulai, Jabatan Pengairan dan Saliran kerana telah berganding bahu melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kolam takungan air dan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan juga ada kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan Sungai Skudai. Walau bagaimanapun, isu banjir di Taman Aman masih belum diselesaikan secara menyeluruh. Memasuki musim tengkujuh pada bulan ini, beberapa rumah di Jalan Bunga Dahlia 10, Taman Aman sudah tiga kali dinaik air dan memasuki rumah. Senai juga telah melawat kolam takungan yang siap dinaik taraf bersama dengan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulai untuk melihat sendiri kekurangan pelan pengurusan banjir tersebut. Inisiatif perjumpaan dengan pemaju-pemaju projek perumahan baharu yang sebelah Taman Aman juga akan diambil oleh PBT seperti sebagai tindakan lanjut. Yang tidak dapat dinafikan, akibat perubahan iklim menjadi tidak menentu dengan musim tengkujuh dan kemarau. Cuaca yang semakin ekstrem menyebabkan banjir menjadi lebih serius dan di luar jangkaan. Namun, faktor aktiviti
pembangunan yang tidak terancang dan perlakuan tidak lestari juga menjadi punca bencana. Oleh demikian, Senai menyeru semua pihak mengutamakan kemampanan dahulu sebelum menjalankan sebarang pembangunan.
Kedua, impak-impak kebanjiran pekerja warga asing di Senai. Senai tertarik oleh inisiatif menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam pembentangan belanjawan. Johor tidak boleh berterusan bergantung kepada pekerja asing jika mahu mencapai matlamat Revolusi Perindustrian Ke-4 atau Industri 4.0. Isu penempatan pekerja warga asing di taman perumahan sekitar Senai semakin tidak terkawal dan menimbulkan pelbagai masalah kebersihan, kacau ganggu dan kesesakan asrama khasnya, di Taman Scientex Jaya, Senai. Isu ini sudah berlarutan sekian lama dan setakat ini dianggarkan lebih 1,300 orang pekerja asing telah tinggal di Taman Scientex Senai membabitkan kira-kira 80 unit rumah. Kewujudan asrama-asrama ini telah memberi banyak implikasi negatif di dalam taman tersebut sekali gus menyebabkan kegusaran dan ketidakselesaan para penduduk kawasan berkenaan. Bayangkan warga Senai bersusah payah untuk merealisasikan impian mempunyai rumah sendiri. Akhirnya, menghadapi pelbagai masalah setiap hari berpunca oleh pengusaha kilang-kilang di sekitar Senai yang ingin penjimatan kos operasi dengan menghantar pekerja-pekerja asing mereka menginap di kawasan perumahan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu warga asing yang berniaga di sekitar kawasan Senai sentiasa mendatangkan kecaman warga Kulai khasnya di media sosial. Mereka sanggup tidak mematuhi undang-undang negara kita dan berniaga sewenang-wenangnya sehingga mengganggu rentak peniaga-peniaga tempatan di kawasan tersebut. Senai memahami kekangan-kekangan PBT kerana kuasa diperuntukkan oleh Akta Kerajaan Tempatan adalah terhad. Oleh demikian, saya mencadangkan satu task force yang mengandungi Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan agensi berkaitan untuk menjalankan operasi bersepadu secara kerap supaya impak-impak kebanjiran pekerja warga asing di Senai dapat ditangani dengan lebih efisien dan telus.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai terletak di kawasan DUN Senai dan juga satu-satunya hospital kerajaan di daerah Kulai. Daerah Kulai ketiga tertinggi kepadatan penduduk iaitu seramai 330,000 penduduk pada tahun 2020.
Yang Berhormat, satu minit lagi.
Ok. Dengan isu peningkatan kepadatan penduduk, permintaan perkhidmatan kesihatan yang tinggi sudah mendesak, Hospital Kulai memerlukan 3 buah ambulans secara mendesak. Oleh demikian, Senai menyeru kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan boleh bersama-sama menitik berat terhadap keperluan perubatan warga Senai dan Kulai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata di bawah semangat perpaduan, Senai percaya Johor akan terus dibangun dengan maju misalnya pada tahun ini banyak permohonan kerja pembaikan diluluskan dan juga Projek Point Of Present Johor merupakan negeri yang paling banyak mendapat manfaat. Ada projek-projek mega seperti Projek Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat di Hospital Sultanah Aminah dan sebagainya juga telah diluluskan. Sebelum Senai mengakhiri ucapan perbahasan saya, Senai berharap rakan-rakan di Dewan ini, marilah kita berganding bahu dan mengenepikan perbezaan untuk memastikan belanjawan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Sekian, terima kasih.
Tahniah Senai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran seramai 8 orang daripada Pejabat ADUN Maharani. Dijemput Yang Berhormat Kahang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu patik mewakili rakyat DUN Kahang merafak sembah menjunjung kasih mengucapkan Selamat Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim bersempena Hari Keputeraan Baginda pada 22 November yang lalu. Patik juga turut merafak sembah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sempena pengisytiharaan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik dan seluruh rakyat Kahang juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor.
Yang Berhormat Speaker, saya juga di kesempatan ini ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana berjaya membentangkan satu bajet yang cukup holistik, satu bajet yang kena dan tepat pada masa iaitu “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”.
Yang Berhormat Speaker, Johor diunjurkan akan terus menjadi antara pemacu ekonomi terbesar pada masa hadapan. Ini susulan potensi dan kedudukan strategik Johor di dalam di rantau ini. Belanjawan yang telah dibentangkan menjadi penyata merangkumi ciri-ciri utama dasar kewangan dan ekonomi negeri pada peringkat yang cukup penting dan kritikal ini, yang mewujudkan asas untuk mencapai pembangunan ekonomi dan sosial yang komprehensif. Berdasarkan isi strategik yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, mempunyai pembaharuan ekonomi serta meneruskan pelaksanaan pembaharuan kewangan. Pembaharuan ini bertujuan untuk meningkatkan kadar pertumbuhan, meningkatkan kadar pekerjaan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Tambahan pula melalui usaha ini, dapat mengembangkan dan mempelbagaikan pelbagai program pembangunan rakyat dan perlindungan sosial untuk rakyat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik serta program yang memberi manfaat kepada kelas pertengahan.
Ekonomi mampan mesti diurus dan dikawal dengan cara yang mencipta dan menjana sumber yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti sosial dan ekologi yang penting untuk mengekalkan ekonomi serta kualiti kehidupan manusia yang diingini. Pertumbuhan ekonomi mampan juga merujuk kepada aktiviti ekonomi yang meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan masyarakat. Pertumbuhan ekonomi yang mampan juga merujuk kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang dikekalkan tanpa menimbulkan masalah besar pada masa hadapan. Kita negeri Johor mesti mengekalkan dan terus mencari pelaburan dan pendapatan baharu untuk rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari ini kalau kita lihat di rantau ini, negara-negara, banyak negara sebenarnya berlumba-lumba untuk menjadi The Economic Powerhouse antaranya China, India, Thailand dan Indonesia. Dan di rantau ini pula kalau kita lihat dalam konteks negara kita sendiri semua negeri di Malaysia ada perancangan untuk menjadi negeri maju dan juga kita menghadapi cabaran yang cukup besar dengan Singapura dan provinsi dan negeri-negeri di rantau Indonesia. Jadi kita perlu mewujudkan infrastruktur perniagaan yang baik dan menggalakkan globalisasi dan integrasi ekonomi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor perlu meningkatkan eksport dan mengakses pasaran baharu yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang-peluang yang baharu. Tetapi adakah kita kekurangan infrastruktur, teknologi dan sumber yang diperlukan,
untuk bersaing dalam pasaran global. Saya bersetuju bahawa RTS perlu disegerakan, LRT perlu disegerakan dan BRT perlu diperluaskan di negeri Johor ini. Jalinan jalan raya mesti ditambah, kualiti jalan mesti diperbaiki dan sistem tebatan banjir mesti diselesaikan dan dibuat kerana pada hari ini di negeri Johor ada kawasan bandar juga mengalami banjir kilat dan sebagainya. Pencapaian capaian Internet khususnya di kawasan-kawasan luar bandar masih tidak sempurna, infrastruktur dan prasarana perlu ditambah baik bukan sahaja di selatan negeri Johor, tetapi di keseluruhan negeri Johor. Barulah kita boleh menarik minat dan juga pelabur-pelabur khususnya pelabur-pelabur baharu untuk masuk ke negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada infrastruktur dan sebagainya, isu pembangunan modal insan merupakan perkara yang paling asas apabila pelabur-pelabur memasuki ke negeri kita, antara perkara yang mereka akan lihat whether we have the talent sama ada kita mempunyai pekerja-pekerja yang mahir. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Benut bahawa di negeri Johor banyak agensi yang terlibat dalam konteks pembangunan sumber manusia ini, kadang-kadang bercelaru. Sebab itulah dulu kita tubuhkan satu unit dipanggil Strategik Modal Insan, pada asalnya dipanggil Unit Strategik Modal Insan. Unit ini berdiri dibangunkan, ditubuhkan dengan menjadi one stop centre kepada negeri Johor dalam konteks pembangunan sumber manusia, dalam konteks mencari pekerja-pekerja mahir, supaya apabila pelabur-pelabur ingin ke Johor, mereka boleh merujuk kepada unit ini sama ada we have potensi pekerja-pekerja mahir di negeri Johor dalam industri-industri yang ingin dilabur oleh pelabur-pelabur yang besar ini. Sekiranya kita gagal untuk menyediakan pekerja-pekerja ini. Saya pernah berulang perkara yang sama di Dewan ini, sekiranya kita gagal maka akhirnya limpahan ekonomi akan terlepas daripada tangan orang Johor. Pelabur-pelabur tidak boleh menunggu masa yang lama, mereka memerlukan tenaga kerja, akhirnya mereka akan ke negeri-negeri lain membawa mereka masuk ke negeri Johor untuk bekerja dalam industri-industri mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya menjadi Johor Maju memang agenda kita, tetapi kita juga harus memberi fokus kepada Johor Berkemahiran. Kita kena pastikan bahawa orang Johor mempunyai kemahiran apabila menceritakan kemahiran bukan sahaja dalam konteks TVET, bukan sahaja dalam konteks teknikal, tetapi soft skills juga kemahiran dalam pelbagai bidang untuk memajukan kehidupan masing-masing. Barulah kita dipanggil sebagai sebuah negeri yang maju. Barulah kita mempunyai The Talent Corp yang dipanggil pembangunan modal insan. Jadi saya amat berharap pihak kerajaan negeri akan terus memperkasakan Unit Strategik Modal Insan ini. Unit Strategik Modal Insan ini bukan sahaja harus berperanan menjadi agensi yang membuat job fair, ataupun menjalankan program-program menjana pendapatan, tetapi menjadi one stop centre untuk negeri Johor di mana mereka harus mempunyai data dan segalanya berkaitan dengan pembangunan modal insan dan ini akan memudahkan para pelabur yang ingin masuk ke negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu dalam konteks isu tenaga mahir ini juga saya amat berharap bahawa pelbagai jenis program akan terus dijalankan, termasuk kepada anak-anak daripada kawasan FELDA, masyarakat Orang Asli, belia-belia India, di mana kerajaan negeri harus memberi fokus, memberi kursus-kursus kemahiran, kerajaan negeri boleh menaja program-program tersebut dari segi kos penginapan, makan, minum, serta yuran serta tajaan, ini perlu kita lakukan. Saya tak pasti sama ada kerajaan negeri ada program sebegini ataupun tidak? sekiranya tidak? Tolong memberi fokus kepada program-program seperti ini. Kerana program ini akan membantu golongan belia dalam mendalami bidang kemahiran dan teknikal sebagai persediaan untuk bekerja dalam bidang berkaitan di masa hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga, saya sekali lagi ya, saya pernah bangkitkan perkara ini di pelbagai peringkat, bahawa di negeri Johor pada hari ini perlu ada satu jabatan ataupun Unit Hal Ehwal Khas Masyarakat India dan di mana unit berperanan badan pemantau pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkaitan masyarakat India di
negeri Johor. Unit ini harus diletak di bawah Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Penubuhan unit ini Yang Berhormat Datuk Speaker, akan membantu kerajaan menyelaras dan menguruskan pembangunan sosioekonomi kaum India secara lebih bersasar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, peruntukan sahaja tidak akan menyelesaikan isu kaum India di Johor, tetapi dasar yang inklusif dan realiti ekonomi semasa. Jadi saya amat berharap bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan memberi, akan meneliti cadangan saya ini dan juga saya meminta supaya task force masyarakat India yang pernah ditubuhkan dulu diaktifkan semula, kerana task force ini penting di mana ianya akan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri, dibantu EXCO dan ketua-ketua jabatan di mana task force berperanan untuk menyelesaikan isu-isu masyarakat India dalam konteks intervensi dan konteks inclusiveness akar umbi. Jadi saya harap perkara ini juga akan terus diberi penelitian oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya mengucapkan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat MB kerana memberi peruntukan bagi bantuan persekolahan, saya berharap agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga akan menyediakan bantuan bagi membaik pulih dan penyelenggaraan prasarana sekolah-sekolah Tamil di negeri Johor.
Dalam konteks pembangunan usahawan pula, saya juga berharap bahawa usahawan komuniti India dalam pelbagai sektor juga yang merupakan satu lagi aspek yang harus diberi oleh kerajaan negeri, difokus oleh kerajaan negeri. Dalam Bajet 2024, pelbagai inisiatif telah pun diberikan peruntukan oleh YAV Dato’ MB. Antaranya ialah Jejak Usahawan Mikro, Generasi Usahawan Maju Johor, Program Latihan Keusahawanan, Program Pengukuhan Ekonomi dan taraf hidup, inisiatif bantuan berdikari dan sebagainya. Jadi saya berharap rakan YB EXCO Usahawan, tolong pastikan masyarakat India juga terlibat dalam semua inisiatif ini (Dewan bertepuk). Saya juga amat berharap bahawa pembangunan kontraktor-kontraktor kecil India juga akan terus diberi fokus dan dibantu oleh kerajaan negeri di mana pihak seperti JCCD harus terus membuat engagement dengan mereka dan juga mereka harus diberi penglibatan secara aktif dalam konteks pembangunan di negeri Johor ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan ekonomi adalah fenomena yang kompleks, dan pelbagai rupa yang mempunyai kesan yang meluas ke atas ekonomi global, politik, masyarakat dan alam sekitar. Jadi penggubal dasar dan pemimpin negeri mesti berusaha untuk memastikan bahawa perdagangan distrukturkan dengan cara menggalakkan pembangunan yang saksama dan mampan dan faedah ini dikongsi oleh semua ahli masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan saya ada beberapa isu yang ingin saya bawa antaranya ialah isu tapak perumahan generasi kedua FELDA, khususnya di kawasan FELDA Ulu Belitong dan juga di FELDA Ulu Pengeli. Saya harap pihak yang berwajib mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu yang tertangguh begitu lama.
Isu banjir di kawasan saya dalam sidang yang lepas, saya pernah bangkitkan juga mengenai isu banjir di kawasan saya khususnya di kawasan Kampung Melayu MARDI, di kawasan Kampung Sri Lukut, di kawasan Kampung Contoh, perkampungan Orang Asli dan sebagainya. Minta kerajaan negeri memberi fokus kalau boleh membuat kajian bagaimana fenomena banjir ini akan dapat diselesaikan. Saya tidak pasti sama ada tindakan ada diambil oleh pihak-pihak yang berkenaan ataupun tidak. Tetapi kita hari ini sudah sampai ke hujung tahun. Selalunya hujung tahun musim banjir. Jadi saya berharap supaya isu banjir ini kerajaan harus memberi fokus kerana kita tidak boleh mengharapkan saban tahun penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat ini, duduk di kawasan PPS dan sebagainya seolah-olah tidak ada kehidupan Yang Berhormat Datuk Speaker.
Isu gajah di kawasan saya, Yang Berhormat Datuk Speaker kawasan saya seolah-olah jadi safari park. Banyak sangat video-video yang viral, mengenai gajah-gajah di kawasan
Kahang ini. Tetapi yang menyedihkan ialah apabila hasil tanaman pekebun-pekebun kecil ini rosak kerana gajah masuk ke kawasan mereka. Sekiranya mereka ada syarikat gergasi perladangan yang besar mungkin impaknya tidak begitu besar. Tetapi impak ekonomi kepada pekebun-pekebun kecil ini terlalu drastik dan ini saban kali berlaku kerana hasil tanaman rosak. Mereka tanam belanja duit taruk modal, hasil tanaman rosak, jadi saya amat berharap bahawa kerajaan juga akan melihat sama ada bantuan boleh diberi kerana ia harus dianggap bencana Yang Berhormat Speaker. Serangan gajah ni bukan berlaku di semua kawasan, di setengah-setengah kawasan. Jadi ia harus dianggap sebagai bencana, pekebun-pekebun kecil yang terlibat, hasil tanaman rosak, harus diberi pembelaan oleh kerajaan (Dewan bertepuk). Kerajaan harus membantu mereka, sekiranya ada dana bencana yang telah pun disalurkan kepada Pejabat-pejabat Daerah dan juga disalurkan kepada Wakil-wakil Rakyat. Wakil Rakyat memang kita bantu, tetapi tak mencukupi. Kita perlukan satu dasar daripada kerajaan untuk membantu pekebun-pekebun kecil khususnya yang terlibat dalam serangan gajah ini, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Dalam sidang yang lepas juga saya membangkitkan baik pulih jeti di Kahang. Jeti Kahang ini penting kerana ialah menjadi center untuk pengagihan makanan dan minuman kepada perkampungan Orang-orang Asli di Kahang yang ada 9 perkampungan apabila berlakunya banjir. Di situlah agensi akan berkumpul dan mengagihkan makanan menerusi sampan, bot dan sebagainya, tetapi jeti itu pada musim banjir yang lepas tenggelam sepenuhnya dan dah rosak sepenuhnya. Jeti itu perlu perbaiki, perlu dibaik pulih kegunaan masyarakat ketika bencana. Jadi saya harap, ini kali kedua saya bangkitkan, pihak berwajib tolong. Saya bukan minta bajet berjuta untuk memperbaiki jeti tersebut tetapi sekadar dapat memulihkan jeti dalam keadaan yang selesa dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga berharap supaya Jalan Persekutuan Kluang ke Mersing, kita selalu nampak jalan daripada Batu Pahat sampai ke Ayer Hitam ni dah beberapa kali dibaik pulih, dibuat dan sebagainya tetapi saya rasa Jalan Kluang – Mersing ini perlu diperluaskan, perlu diperbaiki kerana ia juga merupakan potensi untuk pembangunan ekonomi. Banyak kawasan Kluang, kawasan Mersing yang melalui Kahang ni merupakan kawasan potensi untuk pembangunan pertanian, hasil-hasil pertanian dibawa masuk dan sebagainya. Saya berharap supaya Jalan Kluang – Mersing ini dinaik taraf.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang berkali-kali telah saya bawa. Saya percaya rakan YB EXCO yang menjaga luar bandar telah pun sedia maklum bahawa Projek Bekalan Air Bersih di Kampung Orang Asli Sedohok masih belum lagi diselesaikan ataupun tidak dapat diselesaikan saya pun tak faham. Saya risau bajet yang diperuntukkan itu akhirnya tak mencukupi dengan alasan kos projek itu telah pun meningkat dan sekali lagi kita kena tunggu pulak untuk bajet yang baharu, nak tunggu baharu entah berapa lama ia akan ambil. Jadi, saya berharap projek ini akan, dah memang patut dan perlu disegerakan. Jadi saya harap rakan YB EXCO yang menjaga luar bandar tolonglah, ya tolong bantu kita, kalau perlu ke federal kita pergilah ke federal jumpa dengan Menteri dan sebagainya untuk penyelesaian kepada isu ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan masjid baharu di Kampung Contoh Kahang juga memerlukan perhatian Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana difahamkan kita masih lagi memerlukan dana. Permohonan telah pun dimajukan kepada YAB Dato’ MB. Saya harap pembangunan, peruntukan pembangunan masjid baharu di Kampung Contoh Kahang ini juga akan diberi perhatian pada kadar yang segera.
Yang Berhormat Datuk Speaker...
Yang Berhormat, satu minit lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya berharap bahawa isu-isu yang kita bangkitkan ini akan diberi perhatian. Kadang-kadang memang betul ada perkara yang kita bangkitkan tak dijawab pun oleh rakan-rakan YB EXCO. Mungkin mereka memilih untuk tidak menjawab, tetapi apa yang dibangkitkan ialah suara rakyat akar umbi. Kita bukan datang berseronok di Dewan ini sekadar nak menunjukkan kehebatan kita membuat ucapan atau ordinary script tetapi yang dibangkitkan dalam sidang ini ialah isu akar umbi, isu rakyat yang perlu diselesaikan dan saya harap kalau rakan-rakan YB EXCO tak nak jawab tak apa, pastikan ada penyelesaian kepada isu-isu dibangkitkan. (Dewan bertepuk).
Kadang-kadang berkali-kali setiap sidang kita kena bawak balik isu yang sama. Ataupun, tunjukkan jalan bagaimana nak kita selesaikan dan sebagainya. Saya berharap agar isu tidak mencukupi bajet, tak cukup bajet tahun depan ini janganlah kita gunakan ya. Kita bukan untuk kepentingan diri kita, kepentingan rakyat. Ini untuk pembangunan Johor Maju yang menyeluruh. Kalau nak tengok Johor ni menjadi Johor Maju seperti yang diimpikan oleh YAB Dato’ MB, pembangunan Johor mestilah daripada Johor sampai ke Segamat, utara Johor bukan sahaja di selatan negeri Johor. (Dewan bertepuk).
Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang telah pun diberikan dan saya berharap perkara-perkara yang dibangkitkan akan terus diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Kahang. Saya jemput Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor, salam Tiram di hati. Terima kasih atas ruang dan peluang yang diberikan kepada Tiram pada hari ini untuk turut sama dalam sesi perbahasan Belanjawan 2024.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik mengambil kesempatan merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor sempena sambutan hari ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Patik juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang telah diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Marilah kita bersama berdoa agar Piala Malaysia juga akan menjadi milik JDT pada Jumaat minggu hadapan, 8 Disember 2023. Tiram juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Datuk Seri Mulia Sultan Ibrahim yang membawa gelaran Dato’.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah juga diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan YB EXCO serta pasukan yang telah mengumumkan Belanjawan 2024 dengan tema, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat” yang dirangkumkan melalui 6 Teras, 29 Strategi dan 99 Inisiatif untuk dilaksanakan pada tahun 2024. Kalau kelmarin Yang Berhormat Sri Medan dengan ‘4M’nya, memahami,merasai, menjiwai, melaksana denyut nadi rakyat, perbahasan saya kali ini bertemakan 1M,
“Memimpin Pendapat Rakyat”, atau Leading People’s Opinion, dengan izin. Saya mungkin tidak dapat menyentuh kesemua 6 Teras yang dibentang dalam Belanjawan 2024, hanya menyentuh beberapa inisiatif di bawah beberapa teras yang saya boleh kaitkan dengan isu-isu rakyat yang ada dalam DUN Tiram selaras dengan tema, “Memimpin Pendapat Rakyat”.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kerajaan yang telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta dalam Inisiatif Jualan Kasih Johor. Saya yakin inisiatif ini akan menjadi satu program yang dinantikan oleh Bangsa Johor sebagaimana Program Jualan Rahmah yang telah pun dijalankan. Tiram sendiri telah beberapa kali menganjurkan Program Jualan Rahmah di kawasan dengan kerjasama pihak KPTM dengan JKPZ serta kepimpinan setempat termasuklah dua program yang terakhir yang akan dijalankan pada 3 dan 10 Disember ini, insya-Allah.
Saya mencadangkan agar program ini dibuat tempat yang selesa seperti di dalam dewan ataupun kawasan berbumbung bagi memberi keselesaan kepada pengunjung di saat waktu panas mahupun hujan. Dalam hal ini, besar harapan saya agar pihak PBT dapat memberi kebenaran menggunakan Dewan-dewan Muafakat dalam kawasan pentadbiran PBT. Tetapi saya mengharapkan tiada caj penggunaan dikenakan kepada penganjur dalam menggunakan dewan-dewan tersebut. Insya-Allah kita gunalah konsep dari rakyat kepada rakyat. Dan saya tahu ianya mungkin akan tertakluk kepada kekosongan dewan tersebut. Maklumlah Program Jualan Rahmah, Jualan Kasih Johor ini mungkin akan diadakan pada hujung minggu yang mungkin bertembung dengan sewaan majlis perkahwinan dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita pernah dengar dengan istilah, “Belt and Road Initiatives” (BNR) dengan izin, kalau di negara China dikenali sebagai One Belt One Road atau dalam Bahasa Mandarinnya, Yīdài yīlù, dengan izin yang merupakan strategi yang menghubungkan satu kawasan perdagangan dengan kawasan yang lain, yang menghubungkan negara China dengan negara lain mahupun wilayah yang lain. Ini menunjukkan hubungan jalan raya atau, merupakan jalan perhubungan yang penting dalam membangunkan ekonomi sesuatu kawasan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kawasan saya ada satu jalan pintas yang menghubungkan antara kawasan Pasir Gudang dan pekan Tiram seterusnya akan membawa ke jalan menghala ke Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan ke utara melalui Loji Sultan Iskandar di Kampung Cahaya Baru. Yang Berhormat Datuk Speaker, panjangnya lebih kurang 5 kilometer. Namun, jalan ini bukan jalan yang digazetkan, bukan jalan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri jadi Tiram mencadangkan agar ada usaha untuk mengazetkan jalan tersebut supaya penyelenggaraan jalan pintas ini dapat di selenggara secara berkala kerana ianya menjadi laluan alternatif kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembinaan Jambatan Kampung Perigi Acheh telah mengambil masa yang agak panjang akibat pelbagai faktor antaranya COVID dan yang terkini jambatan utiliti di sebelahnya senget akibat faktor semula jadi yang di luar kawalan kita. Penduduk juga sudah maklum pembinaan ini akan dilanjutkan lagi tempohnya sebelum ianya benar-benar boleh digunakan oleh penduduk kampung. Pendek kata mereka dah kurang bertanya, ‘bila boleh siap jambatan ini YB?’ Namun begitu, ada pertanyaan yang masih, yang masih lagi berlegar di kalangan penduduk iaitu perkara yang besar yang menjadi harapan penduduk agar kerajaan negeri dapat membantu mengatasi masalah ini iaitu masalah kerosakan jalan yang kritikal dan teruk. Pihak JKR ada memaklumkan skop kerja pembaikan jalan tersebut ada tetapi ianya akan dilaksanakan setelah Jambatan Kampung Perigi Acheh tersebut siap dan ianya tidaklah meliputi sepanjang jalan masuk ke kampung hingga ke dalam kampung. Ianya hanya sebahagian sahaja yang di bawah penyelenggaraan pihak JKR. Jadi, Tiram mohon pihak kerajaan membantu penduduk di Kampung Perigi Acheh ini dengan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai kerana
pembinaan jambatan ini masih lagi dalam proses pembinaan yang akan mengambil masa dan dalam masa yang sama pada masa akan datang juga akan diadakan kerja-kerja pembinaan Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh manakala di kiri kanan jalan ke Kampung Perigi Acheh ini merupakan hutan paya bakau. Saya yakin kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor akan membantu penduduk Kampung Perigi Acheh mengatasi masalah ini.
Untuk makluman sidang Dewan, buat masa ini pelajar juga berulang alik ke Kampung Tanjung Langsat bagi mengikuti pendidikan kebangsaan dan sekolah agama akibat Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh tidak selamat digunakan. Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat kepada Menteri Besar Johor kerana telah meluluskan peruntukan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan ulang alik para pelajar ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Langsat yang mana peruntukan tersebut telah pun disalurkan kepada pihak PPD Pasir Gudang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan DUN Tiram ini ada dua buah kampung yang masih belum sempurna infrastruktur jalannya iaitu di Kampung Bukit Dagang dan Kampung Seri Perdana. Kedua-duanya terletak dalam Mukim Sungai Tiram. Tidak sempurna itu, saya merujuk kepada adanya rizab jalan tetapi jalannya belum ada. Sebahagiannya masih lagi hutan belukar dan bergaung. Ada penduduk yang perlu melalui tanah orang lain untuk membina rumah mereka, kalaulah esok lusa pemilik tanah tersebut pula berhasrat untuk membina rumah maka mereka yang telah membina rumah lebih awal tiada akses ke jalan utama akibat rizab jalan yang sepatutnya telah dibina jalan tapi masih belum ada jalannya. Di kampung-kampung ini terutama Kampung Seri Perdana juga belum ada lampu jalan Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi saya mohon kepada pihak berkaitan untuk turut melihat kekangan yang dihadapi oleh penduduk di kedua-dua kampung ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, sebanyak RM635 juta telah diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan negeri, jalan PBT, jalan kampung dan jalan pertanian. Saya mengharapkan agar permohonan-permohonan yang dibuat sejak saya dipilih selaku ADUN Tiram ini dapat diberi perhatian sewajarnya. Antaranya jajaran Jalan Mesra, Kampung Pasir Putih, Jalan Pertanian, Kampung Desa Sayang, jalan-jalan di Kampung Sungai Tiram, Jalan Kampung Sungai Latoh dari Kong-Kong Laut dan jalan-jalan yang lain yang pernah dibuat permohonan sebelum ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram pernah membawa perkara ini dalam Persidangan yang lepas iaitu isu Persimpangan Bertingkat di Plaza Tol Cahaya Baru dari arah Cahaya Baru – Layangkasa menghala ke Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat yang masih belum dibuka lagi kepada orang awam. Perkara ini juga telah dibangkitkan beberapa kali dalam apa jua saluran yang boleh saya bangkitkan termasuklah Mesyuarat Tindakan Daerah. Penekanan kepada pembukaan jalan ini dibuat kerana apabila ianya telah boleh dibuka, ianya mampu mengatasi masalah kesesakan yang berlaku dalam kawasan saya khususnya di Taman Kota Masai, Taman Pasir Putih, Taman Cahaya Masai termasuk juga kawasan-kawasan di dalam DUN Permas, Taman Scientex dan sebagainya. Kesesakan kritikal ini cukup, berlaku khususnya sewaktu waktu puncak pada hari bekerja mahupun pada hujung minggu. Jadi, dengan itu saya mohon campur tangan pihak kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini supaya kemudahan yang telah siap ini dapat digunakan oleh Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Strategi Ketiga dalam Teras Ketiga, hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti kesihatan Bangsa Johor dengan pelbagai inisiatif. Saya nak minta perhatian daripada Yang Berhormat EXCO Kesihatan. Baru-baru ini saya ada melawat, membuat lawatan kerja ke 3 buah klinik, klinik kesihatan dan juga klinik desa iaitu Klinik Kesihatan Cahaya Baru, Klinik Desa Kampung Pasir Putih dan Klinik Desa Sungai Tiram. Klinik Kesihatan Cahaya Baharu asalnya merupakan klinik desa yang telah dinaik taraf
kepada klinik kesihatan. Walau bagaimanapun, hasil lawatan kerja tersebut saya dapati klinik ini kemudahannya masih lagi tidak sempurna. Bangunannya uzur, tempat menunggu menjadi laluan pesakit menerima rawatan, menjadi laluan ke tandas, menjadi laluan ke farmasi malahan peralatan kesihatan seperti tempat penyimpanan ubat juga diletakkan di kawasan laluan pesakit. Klinik Kesihatan Cahaya Baru ini mempunyai ruang tanah yang pada hemat saya, boleh dibina bangunan tambahan supaya ianya lebih sesuai dan selesa kepada mereka yang menerima rawatan selaku statusnya sebagai sebuah klinik kesihatan. Begitu dengan Klinik Desa Kampung Pasir Putih, bangunan asal bangunan kayu yang ada yang saya pernah terima rawatan semasa saya kecil masih lagi digunakan, walaupun sebahagian lantainya telah ditanda atau diletak penanda untuk pengunjung berhati-berhati untuk mengelakkan ianya terpijak dikhuatiri bobos pulak lantainya, kalau dipijak. Klinik Desa Kampung Pasir Putih ini juga menerima bilangan penerima rawatan yang cukup tinggi. Ianya meliputi kawasan sehingga ke Taman Pasir Putih termasuklah taman-taman perumahan yang baharu yang telah dibuka. Klinik ini juga mempunyai ruang tanah yang boleh dibangunkan dan diperbesarkan lagi bangunan klinik desa sedia ada. Sementara itu, Klinik Desa Sungai Tiram juga memerlukan pembaikan ruang di dalam klinik yang tidak boleh digunakan untuk diperbaiki supaya ianya dapat terus digunakan pada masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sektor kesihatan ini juga merupakan sektor yang kritikal dari segi jumlah staf dan anggotanya. Moga dapat kiranya ditambah jumlah staf supaya perkhidmatan yang lebih baik dapat diberikan kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah kepada kerajaan yang telah mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Sejumlah RM67.6 juta diumumkan dalam Inisiatif Pertama, Strategi Ketiga, Teras Kedua Pembangunan Ekonomi. Tersenyum lebar Kota Iskandar bila turut menerima limpahan belanjawan pembangunan semula Kampung Sungai Melayu, tahniah Yang Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Tiram ada juga ada kampung-kampung yang berpotensi sebagai kawasan ekopelancongan. Antaranya kampung Kong Kong Laut yang telah diumumkan sebagai kawasan ekopelancongan oleh Mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Saya pernah mencadangkan perkara ini tetapi nampaknya masih belum menampakkan bunga-bunga untuk dibangunkan atau ditambah baik kawasan ini sebagai kawasan ekopelancongan. Kampung Pasir Putih juga merupakan kawasan ternakan kupang yang boleh dipelopori sebagai kawasan berpotensi selaku kawasan ekopelancongan yang akan menaikkan ekonomi di kawasan setempat dan sekitar. Saya menjemput Yang Berhormat EXCO untuk turun ke kedua-dua kampung ini, kita pekena asam pedas dan juga kupang rebus. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan jawapan lisan Yang Berhormat EXCO Agama semasa sesi Soalan Lisan pada hari Ahad lepas, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan sebagaimana saranan daripada Yang Berhormat Senggarang tentang graduan Diploma Pendidikan Islam oleh Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim yang boleh menampung kekurangan guru-guru Sekolah Agama Johor. Apa yang saya pernah dimaklumkan, modul Diploma Pendidikan Islam MARSAH ataupun KUIJSI ini memang modul yang direka khas untuk melahirkan guru-guru Sekolah Agama Johor. Mengikut statistik Diploma Pendidikan Islam KUIJSI pada tahun 2021, seramai 259 orang yang telah bergraduasi pada tahun 2022, manakala calon pelajar pada tahun 2022 dan 2023 adalah seramai 201 orang. Inilah potensi calon-calon untuk kita isi kekurangan, kekosongan guru-guru sekolah agama.
Yang Berhormat EXCO ada mengatakan ramai calon yang gagal temuduga dan calon-calon tersebut mungkin datang dari pelbagai IPTA mahupun IPTS. Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan pihak KUIJSI perlu tegas dalam pemilihan calon-calon pelajar Diploma
Pendidikan Islam ini bagi mengelakkan mereka sangkut ataupun tak lepas di peringkat temuduga. Biarlah mereka menamatkan pelajaran dengan standard yang diperlukan oleh pihak Bahagian Pendidikan Islam Negeri Johor dan juga pihak SPAJ. Kualiti perlu menjadi keutamaan dari sekadar mempunyai jumlah pelajar yang tinggi mendaftar.
Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga mendapat maklumat masih ada agensi-agensi kerajaan yang mempunyai masalah kekurangan staf dan anggota. Dalam Persidangan sebelum ini saya bangkitkan kekurangan staf di Jabatan Kebajikan Masyarakat, kali ini saya nak sentuh perjawatan di Jabatan Perpaduan Daerah Johor Bahru yang masih banyak belum diisi. Setakat ini dalam makluman saya hanya 5 orang yang boleh bertugas termasuk staf sokongan pentadbiran yang perlu menjaga 5 kawasan Parlimen, 10 kawasan DUN, yang mengawal selia 258 KRT termasuk 10 KRT yang baharu serta 48 buah tabika perpaduan. Walaupun perjawatan ini di bawah kerajaan pusat, saya memohon kerajaan negeri untuk membantu menyalurkan masalah kekurangan anggota di agensi-agensi ini kerana mereka ini jugalah yang akan membantu kerajaan negeri dalam menyalurkan apa jua dasar kerajaan negeri, menganjurkan aktiviti pada Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam Yang Berhormat Pulai Sebatang ada mengusulkan cadangan agar kami ADUN-ADUN juga diberi peluang untuk mengikuti kursus-kursus tertentu. Kursus-kursus jangka pendek dan mungkin kursus-kursus profesional sebagaimana yang dimaklum kerana kami ini adalah barisan hadapan yang menjadi rujukan kepada masyarakat, kepada rakyat dalam apa jua aduan yang disalurkan untuk kita selesaikan. Saya mohon menyokong cadangan daripada Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan, dalam kawasan DUN Tiram ini terdapat 3 kampung Orang Asli. Kampung Orang Asli Pasir Puteh, Kampung Orang Asli Teluk Kabong dan juga Kampung Orang Asli Pasir Salam. Di negara kita yang pelbagai bangsa dan kaum ini, ada Melayu, Cina dan juga lain-lain etnik yang mempunyai kepelbagaian adat resam, budaya dan sebagainya. Saya mohon kepada pihak Yang Berhormat EXCO untuk memikirkan cara dan bagaimana untuk kita mengetengahkan semula budaya sama ada seperti adat resam, pakaian ataupun makanan masyarakat Orang Asli ini supaya ianya tidak terus dilupakan oleh generasi masyarakat Orang Asli akibat daripada peredaran zaman yang berlaku pada hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya punya masa lebih kurang 2 minit, tak banyak lagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan Johor yang mahu menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030. Perkara-perkara asas seperti masalah kerosakan jalan raya, masalah bekalan air, masalah perumahan perlu kita tangani. Tiada guna jika kita mahukan sebuah negeri yang maju tetapi perkara-perkara asas seperti ini masih belum dapat diatasi, masih berlaku dan sebagainya. Justeru, untuk mengatasinya kerjasama semua, keprihatinan semua, keberadaan bersama semua agensi-agensi amat diharapkan. Selaku pemegang taruh, kita semua bertanggungjawab dengan segala aduan dan rungutan daripada rakyat. Bergeraklah kita secara seiring. Terima kasih di atas kerjasama respons yang diberikan selama ini oleh agensi dan semoga kerjasama antara ADUN dan agensi-agensi dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Semoga apa yang saya sampaikan atas tema, “Memimpin Pendapat Rakyat” ini mendapat perhatian sebaiknya daripada pihak kerajaan. Sebelum tahun 2023 melabuh tirainya dalam tempoh lebih kurang sebulan lagi, mari kita terus mendoakan agar saudara kita di Palestin terus berada dalam lindungan Allah SWT. Moga Allah juga melindungi kita semua dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang telah tiba yang dijangka berakhir sekitar Mac atau April 2024.
Sebelum mengakhiri ucapan sekali lagi patik dan seluruh Bangsa Johor khususnya dalam DUN Tiram merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang
Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja yang tidak pernah lekang dari turut membantu Bangsa Johor yang memerlukan bantuan melalui Yayasan-yayasan Keluarga Diraja. Allah peliharakan Sultan, Daulat Tuanku. Anak itik Tok Wi mandi dalam kolam, dalam kolam itu juga Tok Wi mandi, terima kasih akhiru kalam, jumpa lagi jagalah diri. Sekian, Tiram mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Tiram. Sekarang dijemput Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam madani dan salam Maju Johor kepada semua Ahli-Ahli Dewan. Mengkibol amat berbesar hati kerana diberi kesempatan untuk membawa isu rakyat di dalam Dewan yang mulia ini. Terlebih dahulu Mengkibol ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Keputeraan Duli Yang Maha Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 22 November yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama, Belanjawan Negeri Johor, jumlah bajet ialah RM1.8 bilion, Bajet Peruntukan Pembangunan untuk tahun 2024 adalah RM650 juta atau 36.11% daripada jumlah bajet. Walaupun ia lebih tinggi sedikit daripada RM600 juta pada tahun 2023 tetapi ia masih pengurangan 25.3% berbanding dengan RM870 juta pada tahun 2022. Berbanding dengan Bajet Negeri Selangor 2024 yang baharu dibentang baru-baru ini dengan jumlah bajet RM2.53 bilion. Peratusan perbelanjaan pembangunan Selangor sebanyak 47.4% hampir capai target mereka pada 50%. Peratusan Bajet Pembangunan yang rendah mungkin membawa kesan kepada jangka Panjang. Semasa Belanjawan 2022 dan 2023, Mengkibol juga pernah mencadangkan agar peratusan Bajet Pembangunan harus semakin meningkat, demi memberikan kesan positif jangka panjang dan mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri Johor secara keseluruhan. Bajet Peruntukan Pembangunan Negeri Johor sebelum ini adalah seperti berikut; tahun 2018 RM615 juta, 2019 RM613 juta, tahun 2020 RM 780 juta, tahun 2021 RM850 juta dan 2022 RM870 juta. Selain itu apabila meneliti rumusan Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2022 muka surat 70, Mengkibol mendapati menurut laporan dalam bentuk simpanan tetap menurun sebanyak RM620 juta atau 40.9% daripada RM1.514 bilion pada tahun 2021. Pengurangan besar ini menimbulkan persoalan, pihak kerajaan negeri mungkin boleh memberi jawapan apakah penggunaan simpanan tetap yang begitu besar.
Kedua, Johor – Singapura Special Economic Zone, (JS-SEZ) dan Special Financial Zone, (SFZ). Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol menyokong ucapan YAB Menteri Besar mengenai kepentingan JS-SEZ dan SFZ sebagai pemangkin ekonomi negeri Johor. Untuk menyambut baik usaha ini, JS-SEZ perlu dilaksanakan dengan jayanya melalui teras strategik yang tepat pada titik sejarah ini. Inisiatif JS-SEZ perlu memberi fokus kepada perindustrian teknologi hijau dan decarbonization sebagai enjin tumbuhan ekonomi baharu yang boleh memacu Johor ke era ekonomi baharu. Pelan Pembangunan Mampan Johor, (PPMJ 2030) Mengkibol berharap agar kerajaan dapat meluaskan manfaat inisiatif kepada daerah-daerah supaya pembangunan yang seimbang dinikmati di seluruh negeri Johor. Johor adalah satu-satunya negeri yang mempunyai pantai timur dan pantai barat di Semenanjung. Johor Tengah yang meliputi daerah Kluang merupakan penghubung kerana terletak di tengah-tengah negeri Johor yang menjadi lokasi strategik dan mempunyai potensi yang sangat besar. Bandar-bandar dan pekan-pekan sekitar harus berkolaborasi agar berupaya menerima limpahan ekonomi daripada JS-SEZ. Oleh itu, peruntukan yang mencukupi perlu diberikan bagi melaksanakan pembangunan yang mampan di Johor Tengah. Mengkibol juga sokong terhadap saranan Yang Berhormat Benut supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Penasihat Ekonomi yang akan memberi nasihat dan pandangan dan memupuk semangat Johor ini bukannya negeri yang biasa-biasa. It is not a mediocre state.
Yang ketiga, Johor peneraju aspek ESG. Mengkibol juga bersetuju dengan YB Permas bahawa perlu mengukuhkan kerangka atau framework ESG di dalam perancangan dan pelaksanaan setiap dasar-dasar yang dibuat Mengkibol menonton BBC News pagi ini mengenai sustainable aviation, penerbangan Trans Atlantic yang pertama di sejarah, dari London Heathrow Airport ke New York JFK dengan bahan bakar hijau, green fuel dan juga mengenai perkembangan European Hidrogen Backbone. Selaras dengan National Energy Transition Roadmap (NETR) yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi pada Julai 2023 juga menyarankan penggunaan energy hijau iaitu green methanol di dalam industri perkapalan. Kerjasama antara Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan Maersk iaitu Syarikat Perkapalan terbesar di dunia mampu menjayakan inisiatif ini. PTP yang volume sekarang hanya 30% daripada Singapore boleh menjadi pelabuhan yang lebih berdaya saing berbanding dengan Singapore.
Mengkibol ingin berkongsi pengalaman dalam lawatan ke Shanghai Maritime University yang berhampiran, Yang Shan Port, Shanghai pelabuhan terbesar di dunia. Zon ini telah berusaha dalam penggunaan green methanol untuk perkapalan. Zon ini juga maju dengan industri energy hidrogen dan basikal berkuasa hidrogen boleh nampak di merata tempat.
Di Kuching, Sarawak telah kita guna smart tram tanpa rel kuasa energy hidrogen pertama di dunia yang dibuat oleh China menggunakan smart track yang dilukis di permukaan jalan raya tanpa rel besi. Mengkibol berharap agar kerajaan negeri dapat mengkaji dan melaksanakan dasar-dasar penggunaan sumber kuasa baru yang menuju ke arah decarbonization.
Usaha mengurangkan kenderaan di atas jalan raya perlu menjadi salah satu sasaran jangka panjang. Jumlah warga Malaysia yang berulang alik bekerja di Singapore adalah kira-kira 250,000. Setiap hari ribuan warga Johor ulang-alik ke Singapore dengan motosikal. Kerajaan pusat telah memberikan rebate sebanyak RM2,400.00 kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM120,000.00 setahun untuk pembelian e-Bike. Sekiranya lebih ramai menggunakan e-Bike impak yang besar telah mencapai target decarbonisation dan net zero transformation. Setakat ini masih tidak ramai pengguna kenderaan EV tetapi Johor mampu menjadi peneraju kepada sektor tenaga boleh diperbaharui, dengan izin, renewable energy (RE) demi untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keempat cadangan penyelesaian isu Kluang. Isu penstrukturan semula Kampung Gunung Lambak yang berpuluh tahun masih belum diselesaikan dan belum ada tindakan yang diambil. Mengkibol selalu memohon isu ini dapat diselesaikan termasuklah dalam pertemuan dengan YAB MB pada bulan Oktober. Isu ini pernah dirujuk dan saranan daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, PlanMalaysia adalah mengadakan PTK iaitu Pelan Tindakan Khas. PTK yang diusulkan melibatkan usaha sama Pihak Berkuasa Tempatan, MPK, Pejabat Tanah, PlanMalaysia Negeri Johor dan Pejabat Menteri Besar bagi menyelaras proses pengurusan kemajuan termasuk serah balik kurnia semula (SBKS). Mengkibol berharap pada tahun 2024 PTK akan dapat ditubuhkan untuk menyelesaikan isu ini. Sebuah Task Force perlu ditubuhkan mungkin dengan arahan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, PTK akan dapat ditubuhkan pada kadar segera.
Mengkibol ingin mengucapkan tahniah kepada warga Machap kerana projek CSR Plus Malaysia yang telah membaiki dan menaik taraf laluan pintas di bawah lebuh raya Vehicular Box Culvert (VBC) di Machap baru-baru ini. Ia menghubungkan tujuh kampung lain dengan sekolah dan 2,000 penduduk antara semua. Ini membuktikan kerjasama antara semua pihak serta kerajaan dapat merealisasikan yang berkesan dan membawa manfaat kepada penduduk. Pada masa yang sama Mengkibol juga ingin menyatakan rasa dukacita, kecewa kerana projek jalan sambung 500 meter VBC Jalan Mengkibol belum dapat dilaksanakan. VBC yang bernilai RM2 juta telah dibina oleh YTL secara CSR pada tahun 2020. Terdapat juga lebih daripada 2,000 penduduk telah tandatangan petisyen penduduk sekitar untuk
pembinaan jalan sambung ini dan ia mampu menyelesaikan kesesakan semakin serius mengikut JKR, Level of Service (LOF E) semasa waktu kemuncak. Ini bertentangan dengan tema bajet masa ini Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat. Mengkibol berharap agar ia masih dalam perhatian Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Kesesakan lalu lintas merupakan salah satu isu yang dihadapi oleh warga Kluang. Oleh itu, Mengkibol mencadangkan agar kajian trafik yang menyeluruh dijalankan untuk mendapatkan Traffic Model, satu mathematical model of real world traffic dan penyelesaiannya.
Keenam mengiktiraf peranan ADUN Pengimbang. Komunikasi adalah sangat penting. Pertemuan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan para ADUN PH pada 27 Oktober merupakan satu perbincangan yang sangat konstruktif. Mengkibol ingin mencadangkan agar pertemuan berkala ADUN Pakatan Harapan pengimbang dengan Menteri Besar dilakukan tiap 3 bulan sebelum Sidang Dewan Negeri. ADUN pengimbang perlu diberikan ruang yang lebih luas. Semasa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor menitahkan supaya Wakil Rakyat Pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang. Tuanku bertitah, peranan mereka juga besar sebagai pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan negeri dan semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan Johor. Semua pihak bekerjasama demi rakyat dan negeri Johor.
Pengimbang ada berkolaborasi dengan National University of Singapore di bawah tajuk liveable city, bandar bahagia, lawatan kajian pelajar antarabangsa program saujana seramai lebih kurang 50 orang pelajar dari pelbagai negara juga mendapat kelulusan Tan Sri SS supaya menerima taklimat agensi kerajaan. Sebuah buku liveable city, liveable Kluang pun telah diterbit bersama Pejabat ADUN Mengkibol dan National Unversity of Singapore.
Semasa Pejabat ADUN Mengkibol menganjurkan forum dan pameran hasil kajian di bulan Mei disebabkan tidak terima kelulusan kerajaan negeri, PBT, tarik diri dari penganjuran bersama last minute. Tiada seorang pun Ahli Majlis yang hadir, tiada seorang wakil pun yang hadir. Walaupun program ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPKT, YB Akmal. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada YB Mahkota kerana turut hadir dan sokong. Soalan saya adakah kakitangan kerajaan tempatan dan negeri adakah mereka tidak boleh menghadiri program pengimbang? Mengkibol mohon pihak kerajaan negeri memberi arahan yang jelas supaya menjelaskan kekeliruan ini. Rakyat meletakkan tanggungjawab ADUN Pengimbang setara dengan ADUN kerajaan mereka berharap pengimbang menyelesaikan permasalahan yang dihadapi tanpa peranan dan suara dalam jabatan-jabatan dan agensi kerajaan menyebabkan sukar untuk ADUN Pengimbang menyelesaikan masalah rakyat. Berkomunikasi dengan arahan nombor satu YAB Perdana Menteri sekarang, ADUN Pengimbang telah menjadi Ahli Jawatankuasa Tindakan Daerah. Terima kasih.
Berkomunikasi, dalam proses menaikkan kadar cukai harta adalah wajar sekiranya juga boleh melibatkan ADUN Pengimbang kerana kami perlu menghadapi masyarakat setiap hari. Berkomunikasi, sekurang-kurangnya pihak ADUN diberikan maklumat yang lengkap terhadap perkara tersebut dan terlibat untuk bersama-sama memikirkan kaedah terbaik kerajaan perpaduan, kerajaan Madani telah meletakkan keprihatinan dan sifat rahmah di dalam pentadbiran agar rakyat dapat merasai kemakmuran dan kestabilan. Atas dasar ini, keputusan-keputusan PBT perlulah fleksibel dan memihak kepada dasar kemanusiaan dan memudahkan urusan rakyat.
Di kawasan Mengkibol sebuah rumah papan kampung mengalami kebakaran bulan Jun, hangus. Keluarga seramai 9 orang terpaksa menumpang di sebuah bilik di rumah saudara mereka. Nenek, datuk, cucu masih menyusu. Datuk stroke, 9 orang dalam satu bilik. Terima kasih kepada YB EXCO Belia dan Sukan dengan peruntukan Johor Future, Pejabat ADUN Mengkibol bersama Southern Volunteer membersihkan tapak melalui program gotong
royong. Malangnya tapak itu disita oleh penguat kuasa PBT, semasa kerja baik pulih. Permohonan ditolak, permohonan kebenaran ditolak di bulan September. Malah mangsa diberikan kompaun RM1,000.00 bulan November atas kesalahan tidak mendapat kebenaran merancang untuk kerja baik pulih. Berkomunikasi, Mengkibol telah hantar dan WhatsApp mohon jasa baik pihak PBT, mohon jasa baik juga YB EXCO untuk membatalkan kompaun berkenaan atas dasar kemanusiaan. Rumah hangus dapat kompaun RM1,000.00 kerana tidak memohon walaupun ditolak kerana tidak dapat kebenaran merancang. Kebakaran itu bukan boleh dirancang.
Isu kenaikan cukai harta yang berkali ganda dan mendadak di Johor baru-baru ini. Dengan peranan sebagai pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan, Mengkibol memberi beberapa cadangan konstruktif mengenai cukai harta termasuk tundaan pelaksanaan dan mengehadkan kenaikan kadar. Ini tidak harus dipandang sebagai “belasah” PBT ataupun putar belit.
Mengikut Laporan Ketua Audit Negara Johor 2022 yang diterima jadual 43, statistik peningkatan dan tunggakan cukai tanah tunggakan 1-3 tahun adalah 70% kepada jumlah besar. Ini menunjukkan membuktikan warga Johor masih berada di dalam fasa pemulihan ekonomi akibat PKP dan masih ramai terkesan akibat hilang punca pendapatan dan terpaksa menangguhkan bayaran cukai. Seperti yang dikatakan oleh Puteri Wangsa kita perlu menggunakan analisa data dalam pelaksanaan dasar dan membuat keputusan.
Ahli-Ahli Majlis MBPG Pasir Gudang dan MPK dalam kenyataan media menyatakan pendirian mereka tidak menyokong kenaikan cukai harta. Ahli Majlis MBPG juga telah menolak senarai penilaian baru dalam peringkat jawatankuasa selepas prosedur pendengaran. Ahli-Ahli bukan belasah tetapi membawa suara rakyat, maka wajarlah pendapat dan pandangan mereka didengar. Dengan ini, kita nampak betapa pentingnya supaya kerajaan dapat mempertimbangkan Pilihan raya Kerajaan Tempatan dan juga mencadangkan bermula dengan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Bandar Ipoh agar kuasa pemilihan dikembalikan kepada rakyat. Ahli-Ahli Majlis sekarang adalah lantikan politik, bukannya melalui pemilihan, maka tidak ada asas pendapat awam dan membawa pandangan awam. Adalah satu pembaziran sekiranya Ahli Majlis tidak berfungsi, tidak berkhidmat ataupun tidak dihormati oleh PBT.
Berkomunikasi, perbincangan formal dan berkala di antara PBT dan penjawat awam amat penting. Melalui perbincangan ini permasalahan akan dapat diselesaikan dengan lebih baik dan bersedia terhadap isu-isu yang timbul dapat dilakukan lebih awal. Berkomunikasi, semua pihak bekerjasama demi rakyat dan Johor. Oleh itu menyahut cadangan YB Mahkota pelantikan politik perlu melibatkan ADUN, Mengkibol ingin mencadangkan agar sekurang-kurangnya seorang Ahli Majlis dapat dilantik oleh ADUN yang akan membawa perspektif rakyat yang diterima oleh ADUN. Hal ini juga dapat menambah baik komunikasi antara pejabat ADUN dan PBT. Berkomunikasi, semua pihak bekerjasama demi untuk rakyat dan Johor.
Akhir sekali cadangan mengenai menyemarakkan pelancongan. Industri pelancongan menyumbangkan 23% kepada jumlah tenaga kerja melibatkan 3.5 juta orang, menyumbang 6% kepada GDP sejak April 2022 sehingga Mac 2023, Johor menerima 9.14 juta orang pelancong. Sejak tahun 2018 telah beberapa kali mencadangkan pemberian VOA (visa, arrival visa), transit visa dan pengecualian visa demi menarik segmen pelancong yang tertentu. Mengkibol menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India bermula 1 Disember. Kerajaan negeri juga perlu menyambut baik perkara ini dengan menggerakkan agensi-agensi pelancongan untuk mempromosikan negeri Johor sebagai destinasi wajib bagi pelancong yang hadir ke Malaysia. Untuk makluman, laman-laman Web di China telah pun mula mempromosi Malaysia sejak pengumuman. Mengkibol mencadangkan agar penerbangan
terus dari China di Lapangan Terbang Senai perlu ditambah sebagai perbandingan, Changi Airport mempunyai 10 penerbangan terus daripada Shanghai sahaja setiap hari. Kita perlu meningkat ...
Yang Berhormat, masa tamat.
Ok, terima kasih. Mengkibol mencadangkan kerajaan dan pihak Imigresen meningkatkan perkhidmatan feri-feri di Terminal Feri Pasir Gudang, Desaru Coast, Stulang, Puteri Harbour, Mersing dan Pengerang supaya membantu lebih banyak pelancong datang ke Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Ahli-Ahli Yang Berhormat kita ada 7 lagi pembahas dan saya rasa cukup 7 pembahas ini berucap di sesi petang. Jadi, oleh itu saya tangguhkan Persidangan ini kepada jam 2.30 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.55 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023Bill
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita sedang memasuki sesi sebelah petang terakhir untuk sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat selepas ini. Oleh kerana kita pun telah menikmati hidangan yang lebih pada biasa hari ini, maka, saya ingin mencadangkan menganjurkan agar untuk tidak mengganggu perbahasan sesi rehat kita tangguhkan. Namun, pada masa yang sama Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak boleh menahan keadaan bolehlah mengambil masa secara bergilir-gilir. Sebagai ingatan mesra, oleh kerana petang ini adalah sesi yang terakhir untuk perbahasan, sayugialah, jika Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berlaku amanah kepada masa yang diberikan, agar Ahli-Ahli Yang Berhormat yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan akan lebih selesa dan tenteram.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Kempas. (Dewan bertepuk).
Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. (Doa). Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kerabat, para sahabat dan pengikut baginda hingga ke akhir zaman. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bersyukur saya kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, Kempas sekali lagi dapat turut serta dan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2024 yang bertemakan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat” di dalam Dewan yang mulia pada hari ini. Terlebih dahulu, izinkan Kempas untuk merafak sembah ucapan setinggi terima kasih dan ucap selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang di-Pertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November yang lalu. Patik bersama sekalian warga Kempas berdoa kepada Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian Kerabat Diraja
Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat walafiat bagi menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas juga turut ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas penganugerahan Darjah Sultan Ibrahim Johor yang amat disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ). Semoga dengan kurniaan Darjah ini, ia akan menjadi pemangkin kepada Yang Amat Berhormat Dato’ agar terus memberikan perkhidmatan terbaik bagi mencapai agenda Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas ingin menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Johor 2024 di mana belanjawan kali ini telah berjaya disusun dengan begitu baik bagi menyantuni semua lapisan masyarakat. Dari golongan miskin tegar, Orang Asli, nelayan dan petani, penjawat awam, guru-guru, jururawat hinggalah ke pelajar-pelajar serta mahasiswa, semuanya bakal mendapat manfaat daripada belanjawan kali ini. Harapannya, belanjawan ini akan memberi impak positif kepada semua rakyat Johor dari utara, selatan, timur dan barat. Tahniah sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan pasukannya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, belanjawan yang selari dengan agenda Maju Johor iaitu impian melihat negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 yang menampilkan 6 teras disertakan dengan dokongan strategi dan inisiatif yang kompak ini, begitu eksklusif holistik bertepatan dengan ikhtiar ke arah memacu pembangunan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai. Maka, besarlah harapan Kempas untuk melihat segala strategi dan inisiatif daripada setiap teras tersebut dapat direalisasikan dan dijayakan pada tahun hadapan, sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih, malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas ingin menyentuh beberapa perkara yang telah dibentangkan dalam belanjawan kali ini, di mana di dalam Teras kedua, pembangunan ekonomi iaitu inisiatif penubuhan Johor – Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan Special Financial Zone pada tahun 2022, Johor telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan dengan kenaikan 8.2% tatkala seluruh dunia masih lagi bergelut akibat krisis kegelapan ekonomi kesan daripada pandemik kesihatan yang melanda dunia. Singapura dan Malaysia juga telah disenaraikan sebagai rakan dagang kedua terbesar, masing-masing dengan jumlah dagangan dua hala mencecah USD83.53 bilion. Saya percaya dengan perubahan JS-SEZ ini bukan sahaja memberikan impak kepada Johor sahaja, malah kepada negara secara amnya dengan jumlah pelaburan yang bakal hadir. Saya kira langkah perubahan zon khas ini sebagai satu langkah terbaik kerajaan ke arah memacu ekonomi negeri Johor khususnya dan Malaysia secara amnya. Kerana dengan kewujudan eko sistem zon ekonomi ini, ianya dapat memberikan limpahan ekonomi dan juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Kempas berharap agar limpahan ini akan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor amnya dan tidak lupa juga kepada warga di kawasan DUN Kempas khususnya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, inisiatif Residensi Bangsa Johor yang dibentangkan dalam belanjawan kali ini iaitu di bawah strategi memperkasakan perumahan rakyat juga adalah salah satu inisiatif yang begitu dekat dengan masyarakat. Sememangnya isu perumahan ini menjadi satu cabaran pada masa sekarang, tatkala harga tanah kian meningkat serta peningkatan kos sara hidup sehingga memberikan kesan ke atas pemilikan rumah. Pada masa kini, kita sedia maklum wujudnya permintaan yang amat tinggi terhadap kerajaan negeri untuk membina lebih banyak kediaman mampu milik terutama kumpulan masyarakat B40 di kawasan bandar khususnya. Dan usaha kerajaan yang ingin mewujudkan 30,000 unit rumah mampu milik sehingga tahun 2026, sedikit sebanyak akan
memberikan nafas lega kepada rakyat terutamanya golongan B40 dan Orang Muda Johor yang amat menantikan inisiatif sebegini agar mereka dapat memiliki kediaman yang sempurna.
Selain itu, Kempas juga ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi program penyelenggaran Projek Perumahan Rakat (PPR) di dalam negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pembangunan Residensi Bangsa Johor ini, tidak akan tercapai begitu sahaja jika tiada usaha daripada kerajaan negeri dengan kerjasama daripada masyarakat berkaitan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Diharapkan kerjasama ini akan terus dipergiatkan dan diterjemahkan dengan penggunaan lebih banyak projek perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan yang memerlukan. Sebagai contoh, tanah wakaf yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor yang begitu strategik tetapi terbiar yang mungkin boleh dibangunkan sebuah projek perumahan. Hasil daripada kerjasama agensi kerajaan bersama syarikat pembangunan hartanah di mana ianya bukan sahaja mampu menyediakan rumah buat rakyat Johor tetapi juga boleh menjana hasil pendapatan dari sewaan rumah tersebut.
Sehubungan itu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas ingin membawakan cadangan kepada Kerajaan Negeri Johor agar menjadikan tanah rizab yang berpotensi di bawah kendalian Majlis Agama Islam Negeri Johor dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat menerusi konsep wakaf perumahan. Sebagai contoh, terdapat satu kawasan luas bersebelahan Taman Damansara Alif yang berada di bawah kendalian Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kempas berpandangan, jika sekiranya status tanah wakaf ini adalah wakaf am, maka demi kemaslahatan bersama rakyat Johor, Kempas mohon kepada Majlis Fatwa Negeri Johor agar usaha mulia ini dapat dibincangkan dan diputuskan pelaksanaannya kerana daripada sudut masalah iaitu dharuriyyat iaitu keperluan asas dan hajiyat iaitu kemudahan dan kelapangan, mungkin masalah ini perlu dijadikan peluang oleh kerajaan kerana hadap sama instrumen wakaf dan termasuk memberi manfaat kepada masyarakat. Apatah lagi jika mampu menyelesaikan permasalahan besar rakyat seperti isu harga rumah yang sentiasa meningkat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas yakin jika cadangan ini diterima, ianya akan memberi khabar gembira kepada rakyat Kempas khususnya, sekali gus membantu kerajaan negeri membina lebih banyak projek perumahan rakyat untuk Bangsa Johor. Projek ini juga boleh digandingkan bersama dengan anak syarikat kerajaan negeri sebagai pemaju utama dan Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah ataupun stake holder. Negeri Johor terkenal sebagai pelopor kepada konsep wakaf di Malaysia dan ianya terbukti apabila wujudnya pelbagai produk wakaf seperti wakaf Rumah Pelajar Johor di Mesir, wakaf hemodialisis dan wakaf bangunan sekolah agama. Kempas berpandangan, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Johor melaksanakan projek wakaf perumahan ini demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, oleh kerana itu Kempas sangat menyokong langkah penubuhan unit pentadbiran dan pembangunan tanah oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor agar dapat memperkukuhkan fungsi pengurusan harta wakaf dan Baitulmal.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, perkara ketiga yang Kempas yang ingin sentuh pada perbahasan kali ini adalah inisiatif pendidikan Orang Muda Johor yang terkandung di bawah Teras Keenam. Kempas ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO Pelajaran yang telah melantik Kempas sebagai ADUN angkat bagi kaitan anak Johor MARSAH iaitu Persatuan Mahasiswa Johor di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim melalui Program ADUN Angkat Persatuan Mahasiswa di bawah kendalian Yayasan Pelajaran Johor. Sesungguhnya, jalinan
kerjasama ini bukan sahaja baru dibentuk, malah ia telah terjalin sejak sekian lama sebelum ini dan sebenarnya program sukarelawan yang pusat khidmat DUN Kempas anjurkan, insya-Allah Kempas akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan mahasiswa ini sentiasa dijaga.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, anak-anak kita yang menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dalam bidang Syariah dan Usuluddin berpeluang besar melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di timur tengah khususnya di Jordan. Mereka ini merupakan pelapis muda Johor yang berpotensi besar dalam membangunkan syiar agama Islam di negeri ini. Sehubungan itu, Kempas ingin memajukan cadangan kepada kerajaan agar menaikkan kadar derma siswa daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor kepada anak Johor kita yang belajar di timur tengah khususnya di Jordan ini. Kadar terkini derma siswa yang diberikan kepada mereka berjumlah RM8,000.00 setahun dengan tiada sebarang kenaikan sejak tahun 2016. Jumlah ini didapati tidak mencukupi bagi mahasiswa di sana. Jika mengikut pertimbangan ekonomi dan kos sara hidup serta bebanan yuran yang kian meningkat, maka adalah satu keperluan untuk dipertimbangkan semula jumlah derma siswa ini yang ditawarkan.
Untuk makluman Ahli Dewan, tukaran mata wang satu dirham Jordan kini bersamaan dengan RM6.60. Pada tahun lalu mahasiswa daripada Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim yang melanjutkan pelajaran di Jordan perlu membelanjakan kos pengajian sebanyak RM10,111.00 bagi tempoh setahun pengajian melalui pakej twinning program atau dikenali sebagai pakej Program Berkembar. Pakej ini perlu diambil kerana tempoh pengajian mahasiswa MARSAH ini sudah dipindah kredit sewaktu mereka di sini dan tempoh pengajian mereka di Jordan selama 2 tahun bukan sahaja kos pengajian, bahkan kos-kos lain seperti rumah sewa, makan minum, pengangkutan dan kelengkapan diri kian meningkat. Oleh itu, Kempas berharap agar Kerajaan Negeri Johor menerusi agensi Majlis Agama Islam Negeri Johor dapat mengetengahkan di sini agar kadar derma siswa anak-anak Johor kita di sana dapat diberikan perhatian.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, masalah gangguan bekalan air di kawasan DUN Kempas yang merupakan menjadi isu yang sering berlaku. Dan ianya memerlukan jalan penyelesaian yang tuntas dan segera. Malah Pusat Khidmat DUN Kempas sentiasa berkomunikasi dan melaksanakan industri bantuan bersama pihak Ranhill SAJ. Kempas ingin merakam ucapan terima kasih kepada Ranhill SAJ di atas kerjasama yang telah diberikan semasa tempoh terputus bekalan air yang kerap kali berlaku, saya kira dalam tempoh setahun ini sudah tiga kali bekalan air terputus tanpa notis. Yang mengambil masa lebih dari 4 hingga 5 hari untuk diselesaikan sepenuhnya. Tempoh 4 - 5 hari ini ianya adalah sebuah tempoh masa yang agak kritikal sehingga bukan sahaja telefon saya tidak berhenti menerima panggilan dan rayuan penduduk, malah di laman media sosial saya itu dihujani dengan rungutan, aduan dan kemarahan mereka terhadap tindakan yang kurang efisen daripada pihak yang bertanggungjawab iaitu Ranhill SAJ. Manakan tidak berlaku begitu, penduduk perlu menunggu hampir 24 jam untuk mendapatkan bekalan air bersih. Perkara ini pastinya memberikan kesukaran kepada penduduk yang terjejas kerana ianya berlaku tanpa sebarang notis pemakluman dan pengetahuan mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas merasakan bahawa terdapat kekurangan yang perlu dan boleh kita perbaiki. Iaitu dengan mengubah polisi bekalan air bersih terutamanya semasa terputus bekalan air tanpa notis. Maka, Kempas ingin mencadangkan agar polisi bekalan air bersih semasa terputus bekalan air perlu ditambah baik di mana kebiasaannya penduduk-penduduk perlu menunggu sehingga 24 jam untuk mendapatkan bantuan bekalan air sementara mungkin pihak Ranhill boleh mempercepatkan usaha untuk memberikan bekalan selewat-lewatnya dalam tempoh 5 dan 8 jam sahaja. Mungkin pihak Ranhill SAJ juga boleh menempatkan tangki-tangki bantuan bekalan air di kawasan sering terputus bekalan ini. Sebagai langkah awal bagi memastikan penduduk
boleh mendapatkan bekalan dengan lebih cepat. Selain itu, pemakluman awam juga memainkan peranan penting, pihak Ranhill SAJ perlu mengambil langkah proaktif bagi menyampaikan maklumat kepada penduduk terutama melalui media sosial dan laman sesawang rasmi mereka. Penyampaian terhadap pemakluman ini pasti akan menimbulkan kekecewaan dan tekanan daripada masyarakat. Saya percaya sebagai pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa, pihak Ranhill SAJ secara lebih responsif dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada pengguna. Kerana pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang jelas mengenai sebab-sebab terputusnya bekalan air mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kempas berharap semoga cadangan ini dapat diberikan perhatian serius oleh pihak berkenaan dan langkah-langkah yang diperlukan diambil untuk meningkatkan kecekapan dan responsibility dalam menangani masalah bekalan air di Kempas. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di akhir perbahasan kali ini Kempas ingin menyeru semua Ahli Dewan untuk kita sama menunjukkan solidariti kita kepada rakyat Palestin agar krisis kemanusian dan pembantaian rakyat Palestin oleh pihak zionis dihentikan dengan segera. Kempas mengutuk tindakan Israel yang melakukan serangan kejam terhadap orang awam terutama kanak-kanak dan wanita di mana seperti yang dimaklumkan di media seramai lebih 10,000 orang terkorban, dari angka tersebut seramai 4,104 adalah kanak-kanak dan 2,061 adalah wanita. Seramai 2,300 lagi hilang termasuk 1,100 yang hilang adalah kanak-kanak, sesungguhnya tindakan solidariti ini bukanlah disebabkan semata-mata kerana mereka adalah seagama dengan kita, tetapi lebih dari itu kerana ianya adalah sifat kemanusian yang perlu ada dalam diri kita bagi memastikan keamanan sejagat terus dikecapi. Dalam hal ini Kempas ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri di atas kejayaan penganjuran Program Solidariti Bangsa Johor Untuk Palestin baru-baru ini. Dan telah menyaksikan keadaan lebih 7,000 rakyat Bangsa Johor. Terima kasih juga diucapkan kepada semua penyumbang di atas kutipan sebanyak RM2.5 juta yang telah berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan bagi memberikan bantuan kepada saudara kita di Palestin. Sesungguhnya hanya Allah yang maha kuasa yang dapat membalas usaha murni kita ini. Sebagai penutup, Kempas sekali ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang realistik dan bertepatan dengan agenda menjadikan Johor sebagai negeri maju. Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kempas mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Kempas. Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismilahirahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Burung helang burung tempua, terbang tinggi bersama-sama, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, beri peluang Kota Iskadar berbicara. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur kehadrat Allah SWT dengan limpah kurnia serta izinNya diberi kesempatan lagi saya berada dalam Dewan yang mulia ini mewakil rakyat Kota Iskandar untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2024 pada hari ini. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2024 yang menyeluruh, prihatin dan cakna serta mencakupi semua lapisan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, patik merafak sembah dan merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas sambutan ulang tahun keputeraan Baginda baru-baru ini. Patik mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dilindungi, dirahmati Allah SWT serta dilimpah kurnia dan kesihatan yang baik dalam menaungi negeri Johor Darul Ta’zim yang amat kita cintai ini. Patik juga merafak sembah kepada setinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana di bawah pimpinan Tuanku pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim terus gah dan menjadi skuad terhebat di negara kita sehingga kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa khasnya di Asia.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar ingin merakamkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) yang membawa gelaran Dato’. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan terhadap kegigihan dan kejayaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam memacu Johor menjadi sebuah negeri yang maju dan stabil. Kota Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah membentangkan Belanjawan 2024 yang merupakan belanjawan lebihan atau surplus bagi tempoh 2 tahun berturut-turut. Ini jelas membuktikan bahawa Johor terus maju, makmur dan sejahtera dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang muda, dan penuh dengan idea dan wawasan bagi melonjakkan nama Johor Darul Ta’zim ini bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat antarabangsa. Malah tema Belanjawan 2024 iaitu “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, membawa maksud yang amat mendalam dan tepat bahawa setiap aspek pembangunan yang akan dilaksanakan sentiasa menjaga dan mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Belanjawan 2024 berjumlah RM1.804 bilion mempunyai enam teras utama yang didukung 29 strategi dan disokong 99 inisiatif.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar ingin merakam terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memberikan peruntukan sebanyak RM12.2 juta bagi pembangunan semula Kampung Sungai Melayu secara menyeluruh. Peruntukan ini akan digunakan bagi kemudahan dan infrastruktur awam di kampung tersebut untuk menjadi pilihan satu lokasi tarikan pelancongan di negeri Johor ini apatah lagi pada 2026 akan diumumkan sebagai Tahun Melawat Johor yang akan menyasarkan 12 juta pelancong.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tidak lama lagi bolehlah datang Sungai Melayu, pagi menyusuri sungai melihat migrate bird ataupun penjual burung-burung, tengah hari makan asam pedas, malam menginap di inap desa yang telah disediakan dan malamnya dihibur dengan persembahan kebudayaan-kebudayaan tradisional termasuklah tarian ketam bangkang di Kampung Asli Sungai Temol.
Crocodile Son ada?
Itu nanti kita ceritakan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Dalam pada itu Kota Iskandar juga amat mengalukan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi kerja awalan menaik taraf jalan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke persimpangan Pulai Perdana. Alhamdulillah, Kota Iskandar yakin langkah ini akan memberi kelegaan dan keselesaan kepada para pengguna khususnya penduduk di kawasan tersebut yang sering berdepan dengan kesesakan dan jalan yang rosak. Sebelum saya berhujah lebih panjang lagi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, IRDA, Iskandar Investment, Tourism Johor, MOTAC dan termasuk Pegawai Daerah yang menyokong penuh pewujudan Kampung Sungai Melayu sebagai kampung
ekopelancongan yang baharu di negeri Johor ini. Namun, Kota Iskandar berharap laluan tersebut akan terus dinaikkan taraf dengan peruntukan yang lebih besar supaya laluannya boleh ditambah kepada masa yang akan datang. Apatah lagi banyak taman perumahan yang sedang dibina di kawasan tersebut.
Kota Iskandar juga berterima kasih dan lega dengan langkah kerajaan meningkatkan capaian Internet di negeri ini untuk memberi perkhidmatan dan akses yang lebih baik. Semoga usaha ini bukan hanya dinyatakan di atas kertas tetapi perlu dilaksanakan dan direalisasikan demi meningkat capaian Internet rakyat sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar. Walau bagaimanapun Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mengharapkan dalam Kota Iskandar ini masih ada kampung-kampung yang perlu kita teruskan capaian Internet yang baik. Sebagai contoh, Kampung Sungai Melayu walaupun jadi kampung ekopelancongan, Kampung Ladang Tanjung Kupang, Kampung Pendas Baru dan termasuk Kampung Orang Asli Simpang Arang sangat-sangat memerlukan kemudahan ini, agar mereka juga dapat mengecapi nikmat di atas capaian Internet yang baik. Agak memalukan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jika Johor yang terkenal dengan kepesatan pembangunannya namun pencapaian Internet masih jauh ketinggalan apa lagi negara kita amat menekankan aspek pendigitalan dan kehidupan rakyatnya khusus untuk meningkatkan pendidikan dan ekonomi keluarga. Johor tidak harus tertinggal dalam aspek capaian Internet ini.
Kota Iskandar juga mengucapkan terima kasih atas peruntukan RM3 juta yang bagi membangunkan 5 gelanggang futsal mengikut spesifikasi FIFA di kawasan Iskandar Puteri ini. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Belia, Larkin, alhamdulillah kemudahan ini akan meningkat lagi motivasi peminat sukan futsal dalam kalangan anak muda khususnya di kawasan Kota Iskandar ini. Dengan kemudahan bertaraf antarabangsa ini, Johor juga boleh menganjurkan kejohanan yang bertaraf antarabangsa bagi memperkenalkan lagi imej dan nama negeri ini di peringkat antarabangsa. Saya, Kota Iskandar merakamkan tahniah kepada ADUN Tiram kerana menjadi juara Sukan Bangsa Johor pada 2023 yang lalu. Kita menunggu pula DUN Senggarang untuk menjadi juara pada 2024 ini. Kota Iskandar nama diberi, makmur sejahtera Iskandar Puteri, terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, MB, jika ada peruntukan berilah lagi.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar menyokong penuh usaha Special Economic Zone iaitu SEZ dan Special Financial Zon (SFZ) di kawasan Forest City yang mana berada dalam DUN Kota Iskandar. Wawasan ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan termasuk kerajaan negeri dalam menjadikan Johor khususnya digital yang merangkumi empat Pihak Berkuasa Tempatan. Majlis Bandaraya Johor Baharu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan tidak ketinggalan juga Majlis Perbandaran Kulai sebagai pusat ekonomi baharu. Langkah ini memang bertepatan dan sederap dengan langkah dan aspirasi kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai negeri maju pada tahun 2030. Kota Iskandar yakin dengan perancangan yang baik kewujudan SFZ, SEZ akan dapat melancarkan aktiviti ekonomi di negeri ini apatah lagi negeri Johor ini amat strategi lokasi ini kerana berjiran dengan sebuah negara maju Singapura. Kelebihan ini harus direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya demi menarik lebih banyak pelabur beroperasi dalam perniagaan di Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ia sekali gus melenyapkan aktiviti ekonomi dan memberi impak yang besar terhadap ekonomi setempat negeri dan negara seperti memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan juga dapat menarik lebih ramai pekerja mahir, separuh mahir mencari rezeki di Johor sekali gus memacu ekonomi tempatan. Kehadiran ramai pekerja yang akan merangsang projek pembangunan hartanah serta kemudahan awam untuk memenuhi keperluan mereka justeru dengan pembinaan lebih banyak harta tanah sekali gus meningkatkan hasil cukai PBT dalam kerajaan negeri mahupun di peringkat negara. Walau
bagaimanapun, Kota Iskandar berharap butiran terperinci khususnya berkaitan dasar-dasar yang akan diperkenalkan ini dan diguna pakai di kedua-dua zon ekonomi ini harus diperjelaskan dengan baik kepada rakyat supaya tidak timbul kekeliruan dan serta dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan atas tiket individu atau parti tertentu. Kegagalan menjelaskan tentang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan GST oleh Kerajaan Barisan Nasional yang lalu, sehingga menjadikan salah satu punca kekalahannya BN pada pilihan raya umum yang lalu, suatu ketika dahulu harus menjadi iktibar.
Justeru, Kota Iskandar mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu oleh kerajaan untuk membantu, meneliti dan merangka dasar-dasar yang sesuai dilaksanakan dan diguna pakai di SEZ dan SFZ. Kota Iskandar bimbang sekiranya pelaksanaan dasar tidak dapat dijelaskan dengan baik akan memberi kesan dan menjejaskan reputasi kerajaan.
Kota Iskandar juga mengharapkan lebih banyak rumah mampu milik seperti seperti Rumah Transit Johor (RTJ), Rumah Mampu Milik (RMJ) dibina di kawasan DUN Kota Iskandar bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan B40, M40 dan jangan biarkan rakyat hanya mampu tengok tapi tidak mampu beli rumah-rumah yang akan dibina di masa yang akan datang.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Mohd Jafni selaku EXCO Kerajaan Tempatan dan Perumahan di dalam pembentangan bajet yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk membina pembinaan Rumah Transit Johor di Taman Mutiara Rini. Mudah-mudahan dengan ada pembinaan ini dapat memberi peluang kepada mereka-mereka yang tidak mampu membeli rumah tapi boleh duduk dan bekerja di dalam kawasan Kota Iskandar ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar juga menyokong cadangan supaya kerajaan persekutuan mempertimbangkan pembinaan sistem transit aliran LRT di Johor. Sistem pengangkutan yang lebih moden amat diperlukan Johor khususnya di kawasan Greater Johor yang pesat membangun. Sistem pengangkutan awam yang moden dan lebih efisien ini membantu memberi manfaat kepada ramai rakyatnya. Malah, ia turut mampu mengurangkan kesesakan jalan raya dan sistem LRT dapat berfungsi dengan baik serta meliputi banyak kawasan perumahan.Pasti rakyat akan menggunakannya. Walau bagaimanapun, Kota Iskandar mengharapkan jalan-jalan perlu diteliti dengan baik supaya memudahkan pergerakan pengguna dari kawasan perumahan mereka ke pejabat mahupun ke kawasan tumpuan ramai seperti pusat beli belah, taman tema dan pusat riadah. Dengarlah suara rakyat supaya semua kemudahan dan infrastruktur yang dibina untuk kepentingan rakyat dapat mencapai matlamatnya. Justeru, lakukanlah kajian terperinci dari pelbagai aspek supaya projek pembangunan dan kemudahan infrastruktur ini dibina tidak menjadi gajah putih dan membazirkan wang rakyat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu kedaulatan menjadi perhatian dan amat dekat dengan Kota Iskandar, khususnya kawasan perairan di Selat Johor. Justeru, Kota Iskandar mencadangkan Pulau Merambong yang terletak di dalam DUN Kota Iskandar dijadikan Pusat Pangkalan Penguatkuasaan Maritim Negara. Kewujudan pangkalan maritim di Pulau Merambong ini amat penting dan membantu dan memastikan perairan udara tidak diceroboh oleh mana-mana pihak. Malah, insiden nelayan tempatan yang saya nyatakan pada Persidangan Dewan yang lalu yang mencari hasil marin di kawasan perairan negara sudah beberapa kali diganggu oleh pihak berkuasa negara jiran. Tindakan ini tidak berjawab seperti tidak harus dibiarkan terus berlaku dan kepentingan negara dan rakyat harus dijaga, diberi keutamaan. Justeru, pangkalan maritim, perkara tersebut bukan sahaja mampu menjaga kedaulatan negara, malah melindungi rakyat tempatan yang mencari rezeki di perairan. Selain itu, kewujudan pangkalan maritim ini juga bagi melindungi kelestarian
hidupan marin di kawasan perairan berkenaan yang menjadi habitat pelbagai spesis termasuklah dugong, penyu dan kuda laut yang jarang-jarang ada di kawasan yang lain. Khazanah alam ini harus dipelihara supaya tidak pupus di hilang zaman.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada hari ini kita di Kota Iskandar memerlukan beberapa sekolah yang baru perlu dibina kerana kepadatan penduduk yang ada di Kota Iskandar sekarang dah mencapai hampir 350,000 orang penduduk. Dan salah satu kehendak mereka adalah sekolah yang baru. Kalau kita pergi di Pulai Indah, di taman-taman bersekitarnya di Kangkar Pulai, Sekolah Menengah Kangkar Pulai sahaja boleh menampung hingga 1,500 murid. Yang terbaru di Pulai Jaya 2, 1,500 juga dan tidak mampu lagi menampung kehadiran penduduk-penduduk yang ramai yang akan membangun di Taman Scientex dan sebagainya. Dan saya mencadangkan kepada YB EXCO kerajaan negeri khasnya di bawah EXCO Pelajaran, kalau boleh dibina satu sekolah menengah dan sekolah rendah di Pulai Mutiara setidak-tidaknya mengurangkan bebanan kepada sekolah-sekolah yang terpaksa menampung murid yang begitu ramai dan tidak adil Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kalau satu sekolah boleh, satu kelas boleh menampung hingga 40 orang murid terpaksa belajar dengan keadaan bersesak-sesak.
Jadi akhirnya, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum mengakhiri ucapan ini Kota Iskandar sekali lagi merafakkan sembah dan menjunjung setinggi kasih di bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim atas naungan Baginda menjadikan negeri Johor Darul Ta’zim yang amat kita cintai kekal aman damai serta harmoni. Semoga Tuanku dan Kerabat Diraja sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT. Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, tahniah dan syabas saya ucapkan atas pembentangan Belanjawan Johor 2024 yang saya sifatkan mampu melonjakkan lagi ekonomi dan pembangunan negeri sekali gus membawa manfaat kepada semua lapisan Bangsa Johor. Kepada Allah Kita Berserah, Allah Berkati Johor. Dari Johor Bahru ke Kota Iskandar, singgah minum kopi di medan selera, kepada pemimpin negeri kita bersandar, Johor maju, rakyat makmur dan sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Kota Iskandar ingin menyokong. (Dewan bertepuk). Sekian, terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Maharani.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. (Bacaan doa). “Demi sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana memberi laluan kepada Maharani untuk membahaskan ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi selaku Menteri Besar Johor di dalam pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Johor kali ini yang bertemakan “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”. Puji dan syukur kehadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan rahmatnya berlangsungnya Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 kali ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Muhammad SAW yang menjadi pedoman kita di dalam kehidupan. Patik merafak sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di atas keputeraan Baginda pada 22 November yang lalu. Patik juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kali Ke-17. Mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dianugerahkan dengan nikmat sihat, nikmat iman dan Islam untuk terus memayungi rakyat Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota yang sentiasa memberi galakan bagi memacu kemajuan negeri Johor dan patik juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang telah memenangi
Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Liga Super dan didoakan semoga Piala Malaysia akan menjadi milik JDT. Maharani juga merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas penerimaan pangkat pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim (SMIJ) yang membawa gelaran Dato’. Semoga Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar selaku pemimpin utama terus berbakti kepada rakyat negeri Johor dengan adil dan saksama.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak gunakan Peraturan 45(1)...
Maaf, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Jap. 45(1)
45(1). Tiap-tiap Ahli dikecualikan Speaker atau Ahli yang mengetuai mesyuarat atau Pengerusi hendaklah berdiri bila bercakap, berdiri betul dan hendaklah dihadapkan percakapannya itu kepada Speaker atau Ahli yang mengetuai mesyuarat atau pengerusi. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Selingan dan peringatan mesra.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini Maharani ingin menzahirkan rasa simpati ke atas saudara kita di bumi Palestin terutamanya di daerah Gaza dan sekitarnya. Semoga Allah SWT memberikan ketabahan buat mereka dan kekuatan kepada kita agar sentiasa mendoakan yang terbaik serta mampu memberikan dana sumbangan kepada mereka. Maharani juga mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang telah menganjurkan Himpunan Solidariti Palestin di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn baru-baru ini dan mengeluarkan notis supaya masjid dan surau membacakan doa Qunut Nazilah pada setiap waktu solat. Mudah-mudahan amalan ini menjadi peluru kepada musuh-musuh Islam lantas memberikan kemenangan kepada rakyat Palestin. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujrat ayat 10, (Bacaan potongan ayat Al-Quran). Yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman itu, sesungguhnya bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudara kamu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat”. Dengan ini, Maharani ingin membahaskan Belanjawan 2024 Negeri Johor bagi Persidangan kali ini dan Maharani menyambut baik pembentangan bajet dan ingin menyentuh beberapa perkara dan persoalan serta cadangan untuk penambahbaikan bagi masyarakat di DUN Maharani.
Belanjawan kali ini menunjukkan peningkatan hasil negeri Johor yang telah melebihi 100 peratus daripada hasil Belanjawan 2023. Ini menunjukkan prestasi pengurusan kewangan negeri Johor berada di dalam tahap yang baik dan cekap. Tahniah diucapkan. Pada tahun 2024, unjuran hasil negeri Johor adalah sebanyak RM1.8 bilion. Manakala unjuran perbelanjaan tahun 2024 adalah sebanyak RM1.799 bilion. Ini menunjukkan bahawa Belanjawan 2024 Negeri Johor merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM4.21 juta. Diharapkan lebihan belanjawan ini dapat digunakan sewaktu kecemasan seumpama banjir dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan Belanjawan 2024 ini juga akan mendapat hasil lebihan disebabkan kecekapan pihak pengurusan dan pentadbiran bagi merealisasikan slogan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah strategi tiga, Meningkatkan Kualiti Kesihatan Bangsa Johor. Di bawah inisiatif yang keempat, Bangsa Johor Bebas Dari Dadah. Merujuk kepada Bangsa Johor bebas dadah, Maharani ingin membawa suara daripada Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Johor yang berada di Muar yang telah banyak berjasa dalam membentuk semula bekas penagih-penagih dadah menjadi manusia yang normal dan sihat untuk kembali kepada masyarakat. Dimaklumkan bahawa Pengasih Negeri Johor ini adalah di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri. Kali terakhir persatuan ini menerima geran khas daripada Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri Johor pada tahun 2012. Sehubungan dengan itu, Maharani mencadangkan agar diberikan peruntukan melalui satu geran khas kepada Pengasih Negeri Johor untuk mereka mengurus, melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Maharani juga di sini ingin membawa suara pakatan pemandu teksi dan kereta sewa bandar Maharani Muar yang menghadapi persaingan dengan e-Hailing menyebabkan kesukaran mendapat pelanggan, akhirnya menjejaskan sumber pendapatan mereka. Oleh yang demikian, Maharani mencadangkan kepada pihak kerajaan mengambil berat akan isu pemandu teksi ini dengan menaik taraf sistem teksi sebagai pengangkutan awam bagi rakyat negeri Johor serta dapat meningkatkan sumber pendapatan mereka. Seperti contoh, pemberian subsidi minyak atau subsidi baik pulih teksi. Dan Maharani mencadangkan juga sekiranya pihak kerajaan ada inisiatif kepada pemandu teksi bagi membantu mereka secara bulanan bagi menampung sara hidup mereka seperti contoh, mengambil sebagai agen iklan bergerak bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor pelancongan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, inisiatif yang kedua, Johor Prihatin. Melalui inisiatif dua Johor prihatin ini, Maharani berharap peruntukan sebanyak RM5.9 juta tersebut dapat sebahagiannya disalurkan kepada sekolah-sekolah agama Kerajaan Negeri Johor terutamanya di DUN Maharani yang mempunyai lebih kurang 9 buah sekolah agama yang memerlukan peruntukan baik pulih bilik-bilik guru berserta kelengkapan utiliti seperti di Sekolah Agama Seri Jong, Sekolah Agama Bandar Maharani dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui Teras Keempat iaitu Kemudahan Dan Keperluan Asas, Maharani juga ingin membangkitkan mengenai isu jalan kampung yang runtuh dan tidak dibaiki walaupun telah diajukan kepada pihak-pihak berwajib seperti PBT, Pejabat Daerah dan juga JKR. Contoh yang boleh diberikan di sini ialah seperti jalan masuk ke Kampung Parit Keroma, Jalan Kampung Parit Besar, Jalan Kampung Parit Raja, Jalan Kampung Parit Amal dari Jalan Abdul Rahman hingga ke Jalan Jonid Laut, juga Parit Besar dari Jalan Temenggong Ahmad hingga ke Jalan Dato’ Haji Kosai yang mana berlakunya mendapan jalan menyebabkan kesukaran untuk keluar masuk kenderaan penduduk setempat. Maharani mengharapkan dengan peruntukan yang disalurkan kepada pihak berwajib daripada belanjawan kali ini, dapat mengambil tindakan segera terhadap isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat.
Maharani mencadangkan agar dibina parit, longkang ‘U’ yang lebih besar, mengelakkan berlakunya mendapan tanah. Maharani juga mohon agar kerja-kerja baik pulih atau naik taraf ini dapat dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap projek tersebut supaya kerja-kerja yang dilakukan mempunyai kualiti yang baik serta mendapat banyak projek yang telah siap tidak mengikut piawaian yang sepatutnya ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui Strategi Kedua, Memperkasakan Perumahan Rakyat. Maharani menyambut baik hasrat kerajaan untuk memperkasakan perumahan rakyat. Ini kerana rakyat negeri Johor majoritinya belum ada rumah sendiri yang berkeluarga, terutamanya golongan Bumiputera dan B40. Namun, situasi hari ini sukar untuk
membuat pinjaman perumahan disebabkan harga rumah yang melambung tinggi untuk dimiliki. Maka, Maharani mencadangkan agar kerajaan negeri dapat mewujudkan semula rumah kos sederhana untuk rakyat Johor terutamanya di DUN Maharani. Maharani juga menggesa kerajaan supaya projek perumahan Islam di negeri Johor yang telah pun dirasmikan sejak daripada dahulu yang terletak di Jalan Jonid berhampiran Sekolah Maahad Muar yang masih belum dibina sehingga sekarang agar dapat disegerakan untuk keperluan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Maharani juga mencadangkan agar kerajaan negeri dengan kerjasama berwajib mengambil berat mengenai program pembasmian miskin tegar. Selain daripada bantuan sara hidup melalui Baitulmal, JKM atau mana-mana agensi, Maharani mencadangkan sekiranya kerajaan negeri mampu untuk mewujudkan satu lagi skim bantuan tunai rakyat Johor kepada golongan miskin tegar. Skim bantuan ini boleh diberikan secara berperingkat, tiga ataupun empat kali setahun. Diharapkan dengan kaedah ini dapat membantu menjana pendapatan kewangan untuk menyara hidup mereka.
Teras yang keenam, Orang Muda Johor. Di bawah bantuan inisiatif dua bantuan akses pendidikan kepada golongan asnaf, Maharani mencadangkan bantuan ini hendaklah diperluaskan kepada golongan B40. Diharap pihak kerajaan dapat memberi satu inisiatif bantuan tunai pelajar rakyat Johor sepanjang pengajian mereka secara bulanan. Ianya bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di bawah Strategi Keenam, Menaik Taraf Pusat Rekreasi Dan Sukan. Peruntukan sejumlah RM8.8 juta bagi memastikan kemudahan sukan pusat rekreasi dan permainan dalam keadaan baik demi keselesaan masyarakat setempat. Bagi merealisasikan strategi tersebut, Maharani mencadangkan agar kompleks gelanggang tenis yang terletak di Tanjung Ketapang Muar dapat dibaik pulih. Juga di samping itu dapat membaiki tandas awam yang berada di sekitar. Selain daripada itu, Maharani juga mengharapkan agar projek pembinaan Stadium Muar yang sepatutnya telah siap sehingga sekarang tidak dapat lagi disiapkan. Ini menyebabkan anak-anak murid dan juga belia-belia yang ada di sekitar kawasan DUN Maharani tidak dapat menjalankan aktiviti sukan dengan cemerlang.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bandar Muar adalah bandar yang terbersih selama dua tahun berturut-turut Asia Tenggara dan Maharani mengharapkan agar dana pelancongan dapat diagihkan kepada PBT dan Pejabat Daerah Muar. Contohnya, dapat menaikkan taraf kawasan hutan bakau di Tanjung Ketapang. Menaikkan taraf lukisan-lukisan mural di dinding, bangunan-bangunan di setiap lorong, penjagaan sungai-sungai dan juga parit di kawasan bandar, menceriakan Pusat Rekreasi Tanjung Ketapang dan seumpamanya. Selain daripada itu, Maharani juga berharap agar pihak kerajaan dapat membina sebuah muzium sejajar dengan Bandar Maharani Bandar Diraja. Tujuannya adalah untuk menggalakkan kemasukan pelancong ke bandar Muar.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui inisiatif satu Program Semarak Subuh dan Program Membudayakan Al-Quran, peruntukan sebanyak RM560,000.00 kepada 56 kawasan DUN dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Maharani menyambut baik cadangan tersebut kerana ianya dapat mengeratkan ukhuwah di antara pemimpin dan masyarakat setempat. Semoga program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya bersama-sama pemimpin masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan serta ADUN-ADUN kawasan yang terbabit. Maharani mencadangkan supaya satu pemantauan berserta dengan jadual berkala disediakan oleh pejabat agama daerah masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Teras Ketiga, Strategi Satu, Johor Berkebajikan. Maharani mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memberikan sumbangan beras Yayasan Sultan Ibrahim kepada ketua isi rumah miskin tegar
terutamanya di DUN Maharani. Melalui program berkonsepkan keluarga angkat ini melibatkan semua peringkat kepimpinan termasuk ADUN-ADUN pengimbang dan juga ADUN-ADUN kerajaan. Dengan adanya program ini, ianya dapat mengenal pasti permasalahan keluarga tersebut secara dekat serta dapat membantu mereka melalui JKM dan juga Baitulmal.
Melalui Teras Ketiga, Agenda Maju Johor, Inisiatif Keenam iaitu Pemberdayaan Dan Kemendirian Orang Kurang Upaya Dan Warga Emas. Peruntukan RM15 juta di dalam belanjawan kali ini bolehlah diperuntukkan sedikit sebanyak kepada program pemulihan dalam komuniti di DUN Maharani. PDK adalah program yang diwujudkan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya iaitu JPOKU dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ianya merupakan satu strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan dan juga memberikan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya. PDK dilaksanakan melalui usaha bersepadu, OKU, keluarga, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, pendidikan vokasional dan sosial. Program ini dikendalikan di seluruh negara dengan melibatkan aktiviti dengan aktif, komuniti setempat dan ada di pusat PDK ataupun di rumah. Di Maharani terdapat sebuah PDK yang terletak di Parit Keroma Jalan Abdul Rahman, mempunyai 12 orang guru atau kakitangan dan mempunyai 40 orang pelatih ataupun murid. Seramai 17 orang murid berada di PDK dan seramai 13 lagi terlantar berada di rumah masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, apa yang Maharani inginkan bawa isu PDK ini ialah berkaitan dengan elaun guru-guru atau kakitangan yang bekerja sepenuh masa di PDK tersebut. Maharani difahamkan bahawa elaun guru-guru tersebut adalah sebanyak RM1,200.00 sebulan yang diberikan oleh kerajaan pusat, RM200.00 sebulan dan RM200.00 sebulan diberi Kerajaan Negeri Johor dan elaun daripada Kerajaan Negeri Johor tersebut tidak pernah dinaikkan sehingga ke hari ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, untuk menjadi seorang guru di PDK ini bukanlah satu yang mudah tetapi guru-guru tersebut semestinya mempunyai sifat kesabaran yang tinggi selain mempunyai nilai kasih sayang untuk melayan karenah murid-murid istimewa. Kecekalan tersebut adalah disanjung dan dihargai. Oleh yang demikian, Maharani mencadangkan agar kerajaan negeri dapat menaikkan elaun guru-guru tersebut dari RM200.00 kepada RM500.00 atau mengikut kenaikan elaun yang dirasakan sesuai oleh pihak kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum Maharani mengakhiri perbahasan ini, Maharani mengharapkan agar peruntukan kewangan untuk ADUN-ADUN pengimbang dan juga ADUN-ADUN kerajaan di samaratakan sebagaimana peruntukan kewangan yang diterima oleh ADUN-ADUN kerajaan dan juga pengimbang kerana kita sama-sama menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat di dalam masyarakat. Apa guna asam paya kalau tidak menggulai ikan, amal jariah sedaya upaya, di akhirat nanti jadi bekalan.
Akhir kata, Maharani menyeru kepada seluruh Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini supaya bekerjasama, tolong menolong dan juga kita bergerak sederap untuk memacu kejayaan sebagaimana firman Allah (Bacaan potongan ayat Al-Quran). “Berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai”. Dengan ini, Maharani menyokong Pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Johor yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Maharani menyambut baik dan menyokong belanjawan, terima kasih. Dijemput Yang Berhormat Penggaram.
Salam sejahtera, salam perpaduan, terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker memberi peluang kepada Penggaram untuk berucap dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Patik juga merafak sembah dengan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Mulia Tuanku sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini juga Penggaram ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor. Tahniah sekali lagi kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar yang berjaya membentangkan Belanjawan 2024 surplus yang bertema, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, yang merangkumi 6 Teras.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penggaram ingin menyentuh beberapa perkara di dalam Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Dalam Teras Kedua iaitu Pembangunan Ekonomi, Keterjaminan Makanan. Berdasarkan ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, terdapat inisiatif dalam strategi keterjaminan bekalan makanan di mana kerajaan akan menjalankan pelan industri padi dan beras. Terdapat lebih kurang 1,600 hektar sawah padi yang aktif dan sebanyak RM3.9 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran beras sehingga 13,000 metrik tan. Penggaram dapat melihat minat dan usaha kerajaan di dalam menjaga keterjaminan bekalan makanan di negeri ini. Penggaram juga telah dimaklumkan dalam jawapan EXCO bahawa terdapat rizab sawah seluas 2,254 hektar tanah yang digunakan di mana ia sepatutnya digunakan untuk penanaman padi. Malangnya seluas 557 hektar telah bertukar kepada tanaman sawit dan 84 hektar seluruh negeri Johor telah dibina bangunan kekal seperti rumah kediaman dan sebagainya. Penggaram ingin mendapatkan kepastian berkenaan perkara ini.
Yang pertama, secara perinci di manakah kawasan-kawasan yang dimaksudkan telah menjalankan aktiviti penanam sawit? Adakah kerajaan masih mahu mengekalkan status tersebut sebagai rizab sawah padi dan mengambil tindakan yang sewajarnya? Atau adakah kerajaan mengizinkan mereka menukar status rizab tersebut kepada penanaman sawit dan mengeluarkannya sebagai rizab sawah padi supaya negeri mendapat mengemaskini data lebih tepat rizab yang ada untuk sawah padi.
Kedua, Penggaram juga ingin mengetahui secara tepat lokasi rizab sawah padi yang telah dibina bangunan kekal kediaman. Seterusnya apakah jaminan kerajaan supaya pada masa akan datang tidak berlaku lagi aktiviti-aktiviti seperti ini yang membolehkan rizab-rizab sawah padi bertukar kepada status lain.
Penggaram juga dimaklumkan terdapat pelbagai masalah di dalam penanaman padi seperti sistem pengaliran dan saliran bencana. Serangan makhluk perosak dan banyak lagi. Penggaram berharap peruntukan yang disediakan dapat digunakan bagi membantu pesawah ataupun agensi terbabit untuk mengatasi masalah seperti ini agar perkara-perkara seperti ini tidak menjadi kekangan serta merencatkan pengeluaran sawah padi di negeri ini. Kerajaan perlu mengerahkan seluruh agensi yang terbabit sama ada agensi persekutuan mahupun negeri bagi membantu libat urus kerajaan negeri dalam perkara ini. Justeru, Penggaram mencadangkan agar satu jawatankuasa khas keterjaminan bekalan makanan ditubuhkan di mana melibatkan pelbagai agensi seperti Pertanian, JPS, PTG dan lain-lain bagi mengepalai usaha dan fokus kerajaan menjaga keterjaminan bekalan makanan di negeri ini. Selain itu, Penggaram juga berharap agar peruntukan yang disediakan dapat
diperuntukkan kepada pelbagai bentuk kajian dan bantuan teknologi pertanian yang difikir boleh membantu kerajaan di dalam memaksimakan pengeluaran hasil padi negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penggaram ingin membangkitkan berkaitan masalah sistem pengairan dan saliran serta lalu lintas khususnya di Kampung Parit Ahmad, Batu Pahat. Parit Ahmad merupakan parit tanah yang bermula daripada kuala Parit Ahmad di Sungai Simpang Kanan sehingga ke Taman Kiambang sepanjang 3 kilometer. Parit Ahmad sering mengalami hakisan tebing semasa berlaku hujan lebat dan air pasang surut. Hakisan tebing tersebut juga boleh membahayakan pengguna jalan raya. Parit Ahmad terletak di kawasan perumahan dan kampung di pinggir bandar di mana di dalam kampung tersebut telah dapat banyak pembangunan perumahan seperti Taman Berlian, Taman Selesa Cemerlang, Taman Permata dan lain-lain. Kepadatan lalu lintas telah mengakibatkan berlakunya hakisan parit tepi jalan dan mendapan tanah jalan serta kerosakan jalan. Penggaram telah berulang kali membangkitkan perkara ini sama ada di peringkat JTPD mahupun di Dewan yang mulia ini. Merayu agar kerajaan memandang serius perkara ini. Penggaram telah mendapatkan pandangan daripada JPS, ada keperluan menaik taraf Parit Ahmad dari parit tanah ke parit konkrit sepanjang 3 kilometer. Di mana ia melibatkan peruntukan sebanyak RM22 juta, kos dia tinggi. Bagi menyelesaikan masalah hakisan tebing tersebut, JPS perlu membuat reka bentuk sistem saliran di Parit Ahmad terlebih dahulu. Di mana ia perlu mengambil kira aliran air dari kawasan di sekitar untuk dialihkan ke sistem perparitan utama bagi mendapatkan saiz longkang yang sesuai. Kos cadangan projek ini mengambil kira kerja pemasangan longkang bersaiz 2,200 mm dan kali 2,000 mm sepanjang 3 kilometer yang bernilai RM20 juta. Kerja pengalihan utiliti dan kerja-kerja awalan yang memakan jumlah lebih kurang RM1 juta bagi setiapnya. Kerja menaik taraf parit ini bukan sahaja dapat memberi manfaat terhadap sistem saliran kawasan tersebut yang sebelum ini mempunyai masalah air termenung dan banjir. Malah ia juga dapat menghentikan berlakunya mendapan jalan serta hakisan tebing parit. Selain itu, dia sekali gus dapat mengurangkan kos penyelenggaraan parit tersebut pada masa akan datang.
Penggaram merayu agar kerajaan memasukkan cadangan kerja menaik taraf Parit Ahmad ini mengikut fasa ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Penggaram faham keperluan kewujudan pembangunan kawasan perumahan tetapi setiap pembangunan rancangan perumahan kerajaan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan wajib mengambil kira pertambahan penduduk di mana ia akan memberi kesan terhadap kesesakan lalu lintas serta kesesuaian akses yang sedia ada. Tak masuk dek akal beberapa pembangunan kawasan perumahan telah dibangunkan tetapi akses penduduk perumahan kawasan tersebut masih menggunakan jalan kampung atau jalan lama yang sedia ada. Justeru, Penggaram di peringkat JTPD ada mencadangkan agar jalan kampung tersebut diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan agar segala kos penyelenggaraan diletak di bahu PBT bukan bagi Pejabat Daerah. Ia mengambil kira jumlah rumah yang bercukai pintu di kawasan tersebut serta jumlah pengguna laluan utama Kampung Parit Ahmad lebih tinggi daripada jumlah penduduk kampung. Selain itu, pada masa hadapan Penggaram mencadangkan agar satu perangkap sampah diletakkan di parit konkrit tersebut bagi menjaga kelancaran sistem pengaliran dan saliran di parit tersebut dan menghalang sampah sarap memasukkan ke dalam sungai. Ini juga memenuhi aspirasi Belanjawan 2024 Teras Kelima, Strategi ke-3, Johor Bersih dan Strategi Keempat di dalam menambah baik sistem saliran dan pengurasan banjir.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penggaram berterima kasih terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar di bawah Strategi Satu iaitu Memperluaskan Jaringan Jalan Raya Dan Perhubungan di dalam Inisiatif yang kedua, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.1 juta bagi membina laluan dari Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading. Peruntukan ini merupakan peruntukan tambahan bagi menyiapkan baki projek tersebut yang bermula sejak 2017. Namun begitu, Penggaram bersyukur akhirnya terdapat satu inisiatif untuk
projek yang telah melalui kepimpinan 5 orang Menteri Besar ini di mana ia akan memanfaatkan orang awam di daerah Batu Pahat.
Begitu juga dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi menaik taraf persimpangan dan membina jambatan di Jalan Tongkang Pechah dan Jalan Bindu yang juga merupakan peruntukan tambahan bagi menyiapkan projek yang tergendala. Selain itu, Penggaram juga dimaklumkan akan terdapat kerja menaik taraf di Jalan Tanjung Labuh yang akan bermula dari Taman Banang hingga Sekolah Menengah Sains Batu Pahat. Penggaram terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana projek ini akan memberi impak kepada pengguna jalan tersebut yang merupakan jalan perhubungan utama luar bandar ke bandar. Faktor seperti kekurangan fasiliti jalan keperluan pusingan ‘U’ dan pembahagi jalan mengakibatkan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak dan serta kemalangan jalan raya.
Walau bagaimanapun, Penggaram merasa projek menaik taraf jalan tersebut yang hanya akan bermula dari Taman Banang hingga ke Sekolah Menengah Sains Batu Pahat tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di sepanjang jalan tersebut. Jadi, Penggaram berharap kerja menaik taraf ini dapat dipanjangkan bermula persimpangan Taman Kemajuan sehingga ke Sekolah Menengah Sains Batu Pahat. Di mana ia akan memberi manfaat banyak terhadap beberapa buah sekolah yang terdapat di sekitarnya. Tambahan lagi di sekitar perumahan Taman Banang Jaya ini masih terdapat beberapa projek perumahan yang akan disiapkan dan sudah pasti kesesakan akan bertambah apabila pertambahan bilangan penduduk dan bilangan kenderaan di laluan ini pada masa depan. Justeru, Penggaram berharap agar cadangan Penggaram bagi memanjangkan lokasi kerja menaik taraf ini diterima.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penggaram dimaklumkan dalam jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa Projek Second Port Logistic akan dilaksanakan di persisiran Sungai Batu Pahat di mana ia akan menyediakan komponen-komponen seperti kemudahan pelabuhan. Kawasan perindustrian serta pembangunan bercampur bagi mengimbangkan pembangunan di kawasan yang terlibat seperti di mukim Perserai dan mukim Bagan. Walau bagaimanapun, Penggaram ingin mengetahui status adakah projek ini masih di dalam peringkat rancangan atau telah mendapat kelulusan dari pihak persekutuan untuk dibangunkan dan menjalankan aktiviti pelabuhan sepenuhnya? Penggaram maklum kerajaan mempunyai keperluan untuk memindahkan Jeti Kastam dan pelabuhan barter trade yang berada di Jalan Shahbandar ke Jetty Right Base. Di mana Jeti Kastam yang sedia ada telah dimaklumkan status tidak selamat oleh JKR. Selain dapat memusatkan aktiviti pelabuhan, ia juga mampu mengekang kebocoran hasil kerajaan dan aktiviti penyeludupan. Disamping itu, pemusatan aktiviti pelabuhan di Jetty Right Base, ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar Batu Pahat, sekali gus mengurangkan kerosakan jalan di kawasan bandar akibat kenderaan berat. Penggaram ingin mengetahui adakah kos pembangunan pelabuhan ini akan ditampung oleh kerajaan sepenuhnya atau terdapat kerjasama dengan pihak swasta. Walau bagaimanapun, Penggaram berharap kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaan rancangan ini sewajarnya kerana ia akan menyumbang kerancakan ekonomi di negeri Johor khususnya di daerah Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Penggaram ingin mengetengahkan isu gangguan monyet di kawasan perumahan. Penggaram pasti isu ini juga berlaku di kawasan-kawasan lain. Di kawasan-kawasan perumahan di Penggaram, serangan monyet ini berlaku mengakibatkan banyak harta benda sama ada milik individu mahu pun awam telah dirosakkan. Semalam, akhbar China Press melaporkan penduduk The Garden, Batu Pahat menghadapi krisis monyet. Kawanan haiwan ini, menanggalkan cermin sisi kenderaan, plat kenderaan, penggelap cermin depan kenderaan, berak atas kenderaan, mengorek tong sampah hingga menyebabkan kawasan tersebut seperti tidak diurus. Pihak pemaju telah menyumbangkan perangkap monyet, ini juga seperti cadangan daripada pihak Pejabat
PERHILITAN untuk memasang perangkap monyet tetapi ianya dilihat tidak terlalu berkesan kerana bilangan monyet terlalu banyak di kawasan tersebut. Serangan haiwan liar ini bukan sahaja mengganggu kesejahteraan dan kenyamanan penduduk, malah dia juga boleh memberi ancaman keselamatan kepada mereka. Penggaram mengharapkan agar pihak yang terlibat seperti PERHILITAN memikirkan langkah atau kaedah lain selain perangkap monyet bagi mengatasi masalah ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum Penggaram akhiri perbahasan pada kali ini, Penggaram ingin mengambil peluang ini menyampaikan beberapa perkara kepada rakan-rakan sebelah sana sepertimana kita sedang menghadapi perubahan iklim, sebegitu juga suasana politik di negara kita yang telah berubah, tidak sama seperti dahulu. Jika dahulu, kita tidak boleh berselisih bahu, tetapi kini kita perlu berganding bahu. Jika dahulu kita melawan ibarat buku bertemu ruas, tetapi kini kita perlu berkawan, kitalah buku, kitalah ruas yang perlu ada untuk saling bertegur dan mencabar kekuatan negeri yang kita cintai. Seperti Barisan Nasional di peringkat persekutuan memberi sokongan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan membentuk Kerajaan Perpaduan, sebegitulah juga sokongan kami terhadap Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dalam membentuk kerjasama strategik di peringkat negeri. Tiada apa yang perlu diragui dengan keikhlasan dan kejujuran kami. Penggaram berharap tiada lagi sebarang prasangka yang timbul sepanjang kerjasama yang kita sedang jalankan. Kalau tak boleh jadi bakteria yang baik usahlah jadi virus perpecahan. Penggaram ingin mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun, burung kedidi di pohon nangka, anak bayan hinggap di dahan, orang berbudi kita berbahasa, mesra ikatan erat perpaduan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Penggaram. Ini lebih banyaklah suai kenal. Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput Yang Berhormat Sedili. (Dewan bertepuk).
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahamatullahi ta’ala wabarakatuh dan salam sejahtera. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Alhamdulillah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana memberikan kesempatan kepada Sedili untuk turut serta dalam perbahasan rundingan Belanjawan Johor bagi tahun 2024 pada kali ini.
Sebelum memulakan perbahasan, izinkan patik untuk mengambil kesempatan merakamkan ucap Selamat Ulang Tahun Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik mendoakan semoga Tuanku dan Tuanku Permaisuri dilanjutkan usia dan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah SWT dalam menaungi patik-patik semua Bangsa Johor. Patik juga mewakili seluruh rakyat di Sedili turut merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 yang akan bermula pada 31 Januari 2024. Seluruh rakyat Tuanku di Sedili akan sentiasa mendoakan rahmat dan keafiatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor yang akan memayungi kerajaan persekutuan dan seluruh rakyat jelata dari Perlis hingga ke Sabah dengan adil dan penuh kebijaksanaan. Patik dan seluruh rakyat di Sedili juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor dengan iringan doa semoga Tunku akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Pemangku Sultan. Dan tahniah juga atas kejayaan membawa pasukan bola sepak JDT menjuarai Piala Sumbangsih, Piala FA dan juara Piala Liga Super kali ke-10 berturut-turut. Insya-Allah akan membawa balik sekali lagi Piala Malaysia pada 8 hari bulan Disember 2023 nanti. Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Sedili juga tidak ingin ketinggalan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan kalungan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pengurniaan anugerah Dato’ Kelas Pertama oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor pada hari ulang tahun keputeraan Tuanku beberapa hari yang lalu. Sedili percaya pengurniaan anugerah ini tentunya adalah cerminan keyakinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas kebolehan dan kecemerlangan kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor sepanjang memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Alhamdulillah, berkat keunggulan kepimpinan yang telah diberikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dengan dibantu oleh pasukan EXCO Kerajaan Negeri Johor, pasukan pentadbir awam Johor serta kakitangan kerajaan Johor yang cekap dan penuh dedikasi. Negeri Johor kini terus melangkah gagah di atas landasan yang tepat dalam menuju agenda Maju Johor 2030 yang kita semua impikan. Berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan ini, memang sangat tepat apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar mengumumkan pemberian bantuan kewangan tahun 2023 sebanyak 2 bulan gaji kepada kakitangan Kerajaan Negeri Johor. Hal ini telah dibuktikan meskipun iklim ekonomi global terus berada dalam keadaan penuh tekanan, prestasi ekonomi Johor terus memberangsangkan dan kekal menjadi negeri destinasi pelaburan yang utama di Malaysia. Angka-angka statistik prestasi ekonomi Johor turut merekodkan peningkatan yang signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya sehingga Johor telah muncul sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara Malaysia.
Ketangkasan dan ketelitian Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dalam merancang dan memastikan pembangunan negeri Johor terus rancak dan berdaya saing, khususnya ketika dunia di fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19. Melalui Belanjawan Johor 2023 telah berjaya memacu negeri Johor meneruskan kesinambungan kecemerlangan yang telah ditinggalkan oleh kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Sebagai kesinambungan kepada Belanjawan Johor 2023, dan bagi menghadapi tentangan-tentangan ekonomi semasa, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar sekali lagi telah berjaya merangka Belanjawan Johor 2024 dengan tema “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat” yang mengambil kira dan mencakupi segenap aspek kehidupan 4 juta rakyat Bangsa Johor dan setiap lapisan dan suku kaum. Melalui 6 teras, 29 strategi dan 99 inisiatif sekali lagi tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang kita semua kasihi.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Alhamdulillah seperti yang telah diumumkan oleh, dalam belanjawan persekutuan dan belanjawan negeri, Sedili telah dipilih sebagai lokasi pembinaan sebuah Kompleks Hospital Pengajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan peruntukan sebanyak RM938 juta yang dijangka akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan. Kami di Sedili amat bersyukur, menyambut baik dan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan persekutuan, Kementerian Pendidikan Tinggi, USIM dan khasnya kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Ahli Parlimen Kota Tinggi yang juga Menteri Pendidikan Tinggi. (Dewan bertepuk).
Ucapan terima kasih juga kami ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar serta pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dalam memudah cara bagi menjayakan perancangan ini. Dengan pembinaan hospital ini selain dapat menampung kepadatan pesakit sedia ada di Hospital Kota Tinggi yang hanya mempunyai 158 katil dan tanpa doktor pakar. Projek ini juga tentunya akan memberikan limpahan ekonomi kepada kawasan Sedili. Maka, sebagai persiapan menerima pembinaan Kompleks Hospital Pengajar USIM ini. Saya ingin memohon kepada kerajaan negeri dapat membuat perancangan selanjutnya termasuk menaik taraf jalan ke Sedili serta pembinaan perumahan dan infrastruktur untuk menyokong
projek ini yang dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh 3 hingga ke 4 tahun yang akan datang. Alhamdulillah, sebagai Wakil Rakyat Sedili saya juga ingin memanjangkan rasa syukur dan setinggi-tinggi terima kasih dari rakyat Sedili kepada kerajaan Johor khasnya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan YB EXCO yang amat prihatin dalam permasalahan yang dihadapi berkaitan keperluan pengangkutan awam dari kawasan Sedili ke Kota Tinggi, ke Kota Tinggi.
Untuk makluman, perkhidmatan bas Maju Johor di bawah PAJ telah pun memulakan operasinya sejak 2 bulan yang lalu secara percuma dari Kota Tinggi – Sedili ke Kota Tinggi dengan kekerapan sebanyak 4 kali dalam sehari. Perkhidmatan ini amatlah ditunggu-tunggu dan sangat memberikan kemudahan kepada penduduk di kampung-kampung sepanjang laluan tersebut untuk melaksanakan urusan harian mereka terutama untuk berurusan dengan pejabat-pejabat dan perkhidmatan kerajaan di bandar Kota Tinggi. Berkaitan dengan Strategi Ketiga, Memacu Industri Pelancongan, Sedili menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menjadikan Tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor walaupun Sedili tidak dilibatkan dalam insentif satu penambahbaikan infrastruktur pelancongan dalam bajet kali ini. Kami telah mengambil langkah-langkah proaktif ke arah itu. Saya sendiri dengan dibantu oleh pihak perunding pelancongan, kami telah membuat kunjungan hormat ke Pejabat Pengarah Pelancongan di Kuala Lumpur bagi mempromosikan kawasan-kawasan menarik di Sedili bagi dimajukan sebagai destinasi pelancongan. Insya-Allah, pihak Pengarah Pelancongan Malaysia telah berjanji akan datang ke kawasan kami bagi mengenal pasti dan memulakan usaha-usaha seperti yang kami harapkan. Justeru, kami memohon agar pihak kerajaan negeri dapat membantu usaha kami ini khasnya memasukkan Sedili sebagai lokasi acara-acara pelancongan dalam Tahun Melawat Johor 2026 nanti.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan seluruh Yang Berhormat Ahli Dewan, Sedili atau dahulu dikenali sebagai Tanjung Lembu, adalah sebuah kawasan yang agak mundur dan ketinggalan jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di negeri Johor ini. Padahal Sedili sangat berpotensi untuk dibangunkan menjadi kawasan yang maju berasaskan perekonomian, perikanan pertanian dan juga pelancongan kerana selain mempunyai rancangan FELDA, Sedili juga kaya dengan kampung-kampung tradisional dan kampung-kampung nelayan. Sedili juga memiliki pantai yang indah dan panjang seluas mata memandang menghadap ke Laut China Selatan. Namun, potensi besar ini tidak berjaya membuka mata kepimpinan negeri mahupun kerajaan persekutuan setakat ini.
Sedili yang bersebelahan dengan Mersing juga tercicir dan tidak dilibatkan ketika perancangan dan penubuhan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur. Jika Pengerang yang dahulunya juga berada dalam Parlimen Kota Tinggi boleh dibangunkan dengan begitu pesat melalui projek RAPID, jika Desaru yang diberikan namanya oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-3, Allahyarham Tun Hussein Onn berjaya dibangunkan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, tidak mustahil Sedili juga digembleng segenap potensinya menjadi sebuah kawasan yang maju dan membangun setanding dengan kawasan-kawasan lain di dalam negeri Johor.
Apa yang diperlukan adalah kesungguhan politik dan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor khususnya di bawah era kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar untuk memastikan Sedili tidak tersisih dan ketinggalan. Dan, mendapat fokus baharu dalam tumpuan pembangunan kerajaan untuk menjayakan agenda Maju Johor 2030. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, rakyat Sedili adalah penyokong kuat kerajaan dan insya-Allah akan terus kekal bersama kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai meneruskan usaha yang untuk memajukan kawasan Sedili, saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Datuk Timbalan
Speaker pada beberapa permasalahan yang telah berlanjutan yang memerlukan tindakan segera oleh pihak kerajaan. Pertama, Sedili dengan kekurangan, segala kekurangannya adalah merupakan pengeluar hasil laut yang kedua terbesar di negeri Johor. Sedili juga menempatkan sebuah kompleks Jabatan MARITIM yang sangat penting peranannya dalam menjaga dan mengawal bahagian selatan pantai Laut China Selatan. Sejak beberapa tahun ini, bahagian muara Sungai Sedili dan juga Sedili Kechil telah menjadi semakin cetek dan tohor. Keadaan ini telah menyukarkan aktiviti seharian nelayan terutamanya untuk mendaratkan hasil tangkapan laut, hasil tangkapan laut kerana bot-bot ataupun kapal yang lebih besar terhalang dan sukar untuk melaluinya.
Untuk makluman juga, terdapat kabel elektrik, elektrik yang di muara sungai dari pekan Sedili merentang ke Sedili Besar. Kabel ini dahulunya dibina bagi memberi kemudahan elektrik kepada penduduk di Sedili Besar kerana perhubungan jalan raya masih tiada di antara pekan Sedili ke Sedili Besar pada waktu itu. Penduduk Sedili Besar datang ke pekan Sedili dan sebaliknya dengan menaiki bot atau pengangkutan air. Namun semenjak, sejak Jambatan Haji Mohd Lazim telah dibina beberapa tahun lalu, perhubungan antara keduanya menjadi lebih mudah dengan menggunakan jalan darat. Justeru, saya mencadangkan sekiranya tiada lagi keperluan untuk mengekalkan kabel-kabel di atas air tersebut, saya ingin mencadangkan agar kabel tersebut dilupuskan bagi membolehkan kerja-kerja mendalamkan muara dan kuala sungai yang semakin tohor dapat diusahakan dengan seberapa segera bagi kemudahan laluan bot-bot nelayan.
Jika ini dapat dilakukan, saya percaya Sedili dapat memainkan peranan lebih besar di dalam menjayakan Strategi Keempat Belanjawan iaitu Keterjaminan Bekalan Makanan di bawah Inisiatif Kelima Pembangunan Industri Akuakultur Pembangunan Komuniti.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu berkenaan perumahan baharu generasi kedua FELDA dalam DUN Sedili dan juga DUN Johor Lama iaitu PKPF dan perumahan generasi kedua kampung-kampung tradisional juga memerlukan perhatian dari pihak kerajaan. Bagi generasi kedua FELDA, Alhamdulillah sebahagian mereka berjaya dapat diperuntukkan, dapat tapak rumah di kawasan kosong di tanah rancangan masing-masing. Hanya saya ingin memerlukan bahawa sebahagian darinya masih belum mendapat geran hak milik dari kerajaan. Saya mohon dapatlah apa kiranya pihak kerajaan mengusahakan agar proses pengeluaran geran pemilikan ini dapat dipercepatkan dan membolehkan mereka yang berjaya dapat mula membina rumah masing-masing dengan segera. Namun, isu yang pernah saya bawakan sebelum ini berkaitan projek perumahan generasi kedua di tanah seluas 40 ekar di FELDA Bukit Aping Timur masih belum diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Untuk itu, saya mohon kerajaan melihat semula permasalahan ini dan membantu dalam menghuraikan segala permasalahan yang berkaitan.
Isu perumahan bagi generasi kedua bagi kampung-kampung tradisional dalam kawasan Sedili juga memerlukan perhatian segera dari pihak kerajaan. Sebagai Wakil Rakyat, saya berhadapan dengan soalan dari rakyat di Sedili tentang perancangan negeri berkaitan isu ini. Walaupun perkara ini saya bangkitkan isu ini, namun Strategi Kedua, Memperkasakan Perumahan Rakyat di bawah teras Jaringan Keselamatan Sosial, Sedili masih ditinggal dan tidak termasuk dalam Inisiatif Satu Program Perumahan Rakyat PPR, mahupun penyediaan rumah mampu milik dan Inisiatif Keempat Residensi Bangsa Johor (RBJ). Justeru, saya ingin menarik perhatian sekali lagi agar janganlah Sedili terus dilupakan dalam soal memperkasa perumahan rakyat pada masa-masa yang akan datang.
Perkara penting seterusnya ingin saya bawa ke dalam Dewan yang mulia ini adalah berkaitan bekalan air. Isu bekalan air ini adalah satu pemasalahan sekian lama penduduk di DUN Sedili khasnya Gugusan Lok Heng, Waha, Easter dan kampung-kampung tradisi dan telah menjadi isu utama dalam kerajaan negeri yang lalu. Bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri dalam kempen PRN Johor yang juga telah bersetuju untuk
menyalurkan peruntukan sebanyak RM41 juta untuk membuat laluan paip baharu dari Persimpangan Batu 9, Mawai untuk disalurkan ke loji rawatan air bersih di Kampung Gembut. Namun, sehingga kini saya masih belum nampak sebarang kerja-kerja berkaitan dilaksanakan. Justeru saya mohon pihak-pihak yang berkaitan dengan isu ini agar dapat melihat semula dan memberikan status terkini berkenaan perkara ini.
Akhir sekali, sebagai rumusannya marilah kita semua bersatu hati demi Banga Johor. Dengan penuh tekad, azam dan komitmen mengetepikan perbezaan politik, marilah kita bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam memantau dan memastikan agar setiap 6 teras, 29 strategi dan 99 inisiatif yang telah dirangka dan disusun dengan penuh teliti dan telah mengambil kira setiap aspek keutamaan, keperluan dan kemaslahatan seluruh Bangsa Johor dalam Belanjawan Johor 2024 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sama-samalah kita berdoa semoga keikhlasan semua pihak dalam usaha mencapai agenda Maju Johor 2030 akan sentiasa diberkati dan dibantu oleh Allah SWT.
Saya juga mengambil kesempatan sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya sebagai Wakil Rakyat di kawasan Sedili, kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi serta pegawai kerajaan peringkat negeri mahupun pusat yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada saya dalam menangani isu-isu berbangkit di dalam kawasan DUN Sedili.
Bangun pagi gosok gigi, moga kita berjumpa lagi. (Dewan bertepuk.) Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sedili mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Sedili. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat petang, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang mulia terima kasih kerana memberi peluang kepada Pekan Nanas untuk bersama di dalam perbahasan Belanjawan Johor 2024 pada kali ini. Pada kesempatan ini, patik mewakili rakyat Pekan Nanas merakamkan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November 2023. Patik turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik mengucap selamat bersemayam dan semoga dikurniakan kesejahteraan yang berpanjang untuk terus menaungi Malaysia dan negeri Johor khususnya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan menerima belanjawan lebihan sebanyak RM4.21 juta untuk tahun 2024. Ini adalah tanda kebijaksanaan dalam pengurusan kewangan negeri. Saya yakin bahawa belanjawan ini akan memberikan impak positif kepada rakyat Johor terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa ditambah dengan kenaikan harga barangan dan kejatuhan nilai mata wang.
Belanjawan ini juga mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memberi tumpuan kepada 6 teras utama inisiatif maju Johor, dengan disokong 29 strategi dan 99 inisiatif, semua ini direncanakan dengan teliti untuk memastikan masa depan negeri terjamin. Dan Johor dapat menikmati kemakmuran. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat dalam penyediaan belanjawan ini khususnya Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas pimpinan yang cemerlang.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker menunjukkan kepada strategi 3, inisiatif 1 peruntukan sebanyak 12 untuk penyelenggaraan parit-parit di kawasan pertanian dan kampung. Saya melihat ini sebagai satu langkah terbaik dalam mengembalikan
tanggungjawab penyelenggaraan parit di kawasan tani di kampung-kampung JPKK dengan menyelia daripada pihak Pengairan Dan Saliran daerah masing-masing. Saya bersetuju sepenuh dengan pandangan sahabat saya ADUN Mahkota menggali cabaran yang dihadapi dalam penyelesaian masalah banjir sebelum ini terutamanya apabila penyelenggaraan parit diambil alih oleh JPS.
Kejadian banjir kilat sering berlaku kerana parit yang dipenuhi semak samun dan aliran air tidak dapat bergerak lancar. Isu utama yang sering dilaporkan berlaku di Pekan Nanas adalah apabila air daripada parit melimpah ke kawasan kebun penduduk berdekatan. Kesannya, hasil pertanian dan tanaman mereka rosak dan memberikan kesan jangka masa panjang terhadap kesuburan tanah kebun mereka. Oleh itu, saya harap usaha ini akan berterusan kepada, kita perlu memastikan penjadualan penyelenggaraan secara berkala dilaksanakan bukan hanya jadual semata-mata, penekanan juga perlu diberikan kepada pencegahan masalah infrastruktur dan laksanakan kerja kajian bagi mengenal pasti mana-mana infrastruktur dibaiki bukan sekadar penyelesaian terhadap kerosakan yang timbul secara One-Off.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, masih lagi berkenaan isu yang sama mengenai masalah banjir di kawasan saya meskipun terdapat peruntukan yang besar dalam Belanjawan Johor 2024, untuk memperkasa pengurusan banjir sebanyak lebih daripada RM1 bilion. Nampaknya tidak, tiada sebarang peruntukan khusus yang untuk insentif untuk mengatasi masalah banjir di Pekan Nanas yang sudah berlarutan lebih 40 tahun di kawasan yang sama iaitu di Kampung Paya Embun, Kampung Seri Gambut, Kampung Jasa Sepakat, Kampung Melayu Raya, Kampung Melayu Bukit Panjang, Kampung Seri Bunian dan beberapa kampung yang lain. Justeru, saya mohon agar Pekan Nanas turut diberikan perhatian yang sama dalam perancangan mengatasi banjir. Punca sudah dikenal pasti, perancangan sudah ada, namun sampai bila kita hendak tunggu sehingga peruntukan disalurkan. Saya sedih setiap kali berlaku banjir, naik malu saya nak berhadapan dengan keluarga mangsa yang sama saban masa. (Dewan bertepuk). Alasan sama diberikan dalam perancangan. Mereka pun sudah muak dengan jawapan yang sama. Kita tidak boleh terus mempedulikan kehidupan penduduk dengan masalah banjir yang berulang. Minta tindakan proaktif dan terarah perlu diambil untuk menghentikan kejadian ini. Penduduk Pekan Nanas memerlukan jaminan bahawa kehidupan mereka tidak akan terus terjejas oleh banjir yang berulang. Oleh itu, saya mohon Yang Amat Berhormat untuk menelitikan perkara ini dan bantulah juga Pekan Nanas untuk membela orang kampung saya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pemberian Geran Pengurusan Dan Pentadbiran sebanyak RM120,000.00 kepada Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor. Sebelum ini, saya adalah mengangkat cadangan ini untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri setelah berbincang bersama ketua kampung di DUN Pekan Nanas. Saya yakin bahawa geran ini akan dapat membantu dan melancar lagi pengurusan pentadbiran di kawasan kampung.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam konteks Teras Keempat, Inisiatif Kedua, Pembinaan Jalan Serta Jambatan Negeri, saya mohon pihak kerajaan negeri untuk menelitikan kembali projek cadangan membina jalan pintas Pekan Nanas yang telah diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 5 Oktober 2017 dengan siling sebanyak RM27,600,000.00 dan kos keseluruhan RM56 juta. Projek ini melibatkan pembinaan jalan baru, meningkat jalan sedia ada, sistem saliran pembinaan jambatan baru dan masalah kesesakan di Pekan Nanas. Mengikut data bancian lalu lintas, sebanyak 20,000 buah kenderaan melalui jalan ini setiap hari. Data ini menimbul kegelisahan terhadap kecenderungan berlakunya meningkat kes kemalangan jalan raya lebih lagi dengan kepadatan penduduk di Pekan Nanas. Keberkesanan projek ini dalam perancang sistem jalan raya yang lebih canggih dan infusion di Johor sepatutnya menjadi perhatian utama.
Dia bakal menjadi laluan alternatif penting bagi pengguna jalan dari Pontian ke Johor Bahru dan sebaliknya. Keputusan untuk menangguhkan projek ini demi memberi laluan kepada pembinaan projek lain yang sedang berjalan perlu diteliti semula untuk memastikan pelaksanaan strategi dan memperluas rangkaian jalan raya dan pengangkutan di negeri Johor berjalan lancar. Oleh itu, saya mendesak pihak kerajaan memberikan penjelasan yang lebih terperinci, antara strategi dan langkah-langkah akan diambil bagi menjayakan projek ini, sejajar dengan matlamat jangka panjang strategi pembangunan infrastruktur di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebanyak RM635 juta telah diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan negeri dan jalan negeri, jalan PBT, jalan kampung dan jalan pertanian. Jumlah dana yang besar ini mencerminkan komitmen yang teguh kerajaan negeri terhadap pengekalan dan peningkatan kualiti infrastruktur jalan raya di pelbagai peringkat termasuk jalan kampung dan pertanian. Di kawasan saya Pekan Nanas terdapat banyak jalan kampung yang perlu diselenggara, diselenggara antara jalan kampung, jalan batu Kampung Melayu Bukit Panjang, Kampung Tanjung Ayer Hitam, Kampung Maju Jaya, Kampung Sepakat Jaya dan Kampung Paya Embun. Saya berharap agar jalan di kawasan saya ini turut diberikan perhatian.
Dalam pada itu, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mohon kerajaan negeri turut memberikan tumpuan kepada pemasangan lampu jalan LED. Di kawasan ketika di DUN saya seperti di Kampung Seri Bukit Panjang kerana merupakan jalan alternatif utama penduduk kampung yang ingin ke Pontian mahupun Pekan Nanas. Tahun 2023, unit lampu jalan LED pada seluruh negeri Johor sepertimana yang diumumkan adalah tidak mencukupi, lebih-lebih lagi jika melihat masih banyak kawasan luar bandar di negeri ini yang masih bergelap. Justeru itu, saya mohon kerajaan negeri untuk mempertimbangkan cadangan penambahan unit lampu jalan LED ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam Belanjawan Negeri Johor kali ini juga menyaksikan Teras Keempat adalah menyentuh tentang meningkat capaian internet sebagai langkah proaktif dalam menghadapi revolusi digital. Walaupun perbahasan tentang keberkesanan dan impak insentif ini perlu mengambil kira realiti sebenar kawasan luar bandar terutama di kawasan seperti Pekan Nanas. Saya juga cakna akan beberapa menara pencawang yang sudah pun didirikan seperti di Kampung Seri Panjang. Namun sehingga kini, masih lagi belum beroperasi disebabkan beberapa isu peringkat penyedia rangkaian. Jadi, saya mohon kepada kerajaan negeri untuk terus memberikan perhatian kepada kawasan luar bandar masih belum mendapat manfaat, manfaat ini dengan menyedia infrastruktur digital yang canggih. Kita bukan sahaja memastikan kesaksamaan capaian kepada teknologi ini, tetapi kita juga membantu komuniti luar bandar untuk terlibat secara aktif dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini saya ingin sentuh mengenai Insentif Dua, Penyediaan Rumah Mampu Milik yang disebutkan di dalam Belanjawan Johor 2024. Sasaran kerajaan negeri untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik hingga 2026 adalah satu perancangan yang baik. Namun, saya ingin bertanya satu soalan yang penting, adakah Pekan Nanas termasuk di dalam 30,000 unit tersebut. Pekan Nanas memerlukan perhatian khususnya dalam memperkasakan perumahan RMMJ dan pembinaan rumah mampu milik walaupun saya telah berulang kali memohon namun jawapan konkrit masih belum saya terima. Kawasan-kawasan lain juga telah dilaksanakan projek RMMJ ini.
Untuk maklum Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli Dewan yang mulia, ekonomi Pekan Nanas kini berkembang dengan pesat dan ini membawa kepada meningkatkan jumlah penduduk. Oleh itu, adalah suatu keperluan mendesak untuk senaraikan Pekan Nanas dalam sasaran pembinaan 30,000 unit rumah mampu milik yang diumumkan. Jangan biarkan Pekan Nanas tiada rumah mampu milik, kesian orang kampung
saya, bukan semua orang senang. Semoga kerajaan negeri dapat memberikan perhatian yang sewajar kepada hasrat Pekan Nanas ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin mengalih kepada isu berkaitan pembangunan pendidikan di kawasan saya. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sekolah Agama Batu 24 kini beroperasi sementara di bangunan Sekolah Kebangsaan Batu 24 sejak tahun 2005 hingga kini. Satu tapak di Lot 7376 di Taman Utama, Pekan Nanas telah dirizab untuk pembinaan Sekolah Agama Batu 24. Pada masa ini, sekolah agama mempunyai 385 orang murid dan menggunakan sembilan bilik darjah serta satu bilik guru, menumpang di tingkat 4 Sekolah Kebangsaan Batu 24. Keselamatan pelajar menjadikan kebimbangan dan lokasi bangunan sekolah agama tingkat 4. Manakala kawasan dan bilik yang terhad juga memadai untuk kegiatan sekolah. Pejabat Pendidikan Agama Daerah Pontian telah mencadang kepada Bahagian Pendidikan Agama Negeri Johor untuk membina Sekolah Agama Batu 24 di tapak telah dirizabkan dengan kos pembinaan sebanyak RM20 juta sahaja walaupun pelaksanaan masih tertangguh. Oleh itu selaku rakyat, selaku Wakil Rakyat saya mohon kerajaan agar dapat merealisasikan hasrat anak-anak saya ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di samping itu saya turut ingin menyentuh tentang kekurangan fasiliti sukan di DUN Pekan Nanas terutamanya untuk golongan belia tempatan. Dalam sesi empat di bawah teras keenam, Belanjawan Johor 2024 kita melihat JB Sport City sebagai fokus utama. Memanglah kita mengaku keperluan untuk menjadi Johor sebagai pusat sukan, tetapi saya tekankan agar perhatian yang sewajarnya juga diberikan kepada kawasan-kawasan yang masih belum mempunyai fasiliti sukan yang baik seperti Pekan Nanas. Oleh itu, saya ingin mencadang agar kerajaan menjalankan kajian yang teliti dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan tempatan untuk memastikan keputusan pembinaan fasiliti sukan di Pekan Nanas dapat direalisasikan. Jika tidak pun Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mohon bantulah untuk menaik taraf fasiliti sukan yang sedia ada terutamanya gelanggang futsal terbuka di Kompleks Penghulu Mukim Jeram Batu dan Pekan Raja. Gelanggang ini sering menjadi tumpuan anak muda meluang masa. Namun, keadaan amat daif. Jika hujan mereka tidak dapat bermain futsal dan gelanggang akan dipenuhi air bertakung, lama kelamaan lantai juga akan rosak. Jadi, saya mohon perhatian pihak kerajaan untuk membantu dalam menaik taraf gelanggang ini untuk keselesaan dan kemudahan pada kawasan saya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Teras Keempat, Strategi Ketiga, Belanjawan Johor yang melibatkan Peningkatan Kecekapan Rawatan Dan Agihan Air. Meskipun terdapat langkah-langkah positif dalam meningkat infrastruktur air, terdapat beberapa kebimbangan khususnya perlu diangkat terutama berkaitan dengan kawasan Pekan Nanas khusus di Kampung Ulu Pulai. Adalah perlu ditekankan bahawa terdapat masalah tekanan air yang rendah di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nanas yang memberikan impak yang besar terutama pada waktu puncak. Ini bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan bagi penduduk tempatan, tetapi juga menyebabkan pelbagai masalah domestik dan kesulitan dalam kegunaan harian. Ini secara langsung menjejaskan lebih dari 1,000 keluarga di kampung di Pulai yang bergantung kepada bekalan air yang mencukupi. Makluman dari SAJ yang menyatakan bahawa tekanan rendah berlaku disebabkan oleh bekalan air dari Johor Bahru. Ini menunjukkan perlunya tingkatkan segera untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan sistem pengagihan air dari kawasan ini. Inisiatif peningkatan kecekapan rawatan dan agihan air di peringkat negeri khas memberi tumpuan kepada memperbaiki masalah ini. Memastikan bekalan air mencukupi dan tekanan air mencapai tahap memuaskan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam mengakhiri perbahasan ini marilah kita berganding bahu untuk memastikan kita dapat bersama-sama merealisasikan agenda Maju Johor. Melalui Belanjawan 2024 ini, saya yakin ia akan membawa manfaat besar kepada 4 juta Bangsa Johor.
Izinkan Pekan Nanas menutup dengan serangkap pantun. Tanam kecampa berdaun lebar, ikan gelama disayat-sayat, Belanjawan 2024 telah diperlihat, memacu pembangunan menyejahterakan rakyat. Sekian, terima kasih. Pekan Nanas mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum saya mulakan perbahasan ini, korum kita cukup ke Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker?
Cukup.
Saja aje ngantuk. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum meneruskan perbahasan Belanjawan Johor kali ini izinkan patik merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik turut merafak sembah seraya merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim sempena perisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Ucapan setinggi-tinggi tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi, Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim yang membawa gelaran Dato’.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kalau nak menurut, biar berakal, kalau nak mengikut, biar pintar. Apabila jadi pembahas terakhir ni, biasanya, biasanyalah ada kadang-kadang persoalan akan tertinggal untuk dijawab. Ada perkara yang kadang-kadang terlepas pandang, ada isu yang terlupa untuk dibangkitkan. Oleh itu, Pemanis amat berharap agar apa sahaja persoalan, perkara-perkara dan isu yang diambil ini nanti, yang diangkat ini nanti dapat diambil perhatian dan dipastikan bahawa ianya dapat dijawab sama dengan peruntukan-peruntukannya sekali.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemanis ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di atas kejayaan menganjurkan program bertaraf antarabangsa iaitu Persidangan Minggu Iklim Asia Pacific 2023 ataupun APCW 2023. (Dewan bertepuk). Ia melakar sejarah tersendiri terhadap komitmen tuan rumah negeri Johor dalam memperkasa pembangunan kelestarian secara menyeluruh. Sebanyak 14 memorandum persefahaman ataupun MOU bernilai RM180 juta telah berjaya dimeterai yang menjadi cerminan kesungguhan antara agensi kerajaan negeri bersama dengan pihak swasta. Kesemua MOU yang ditandatangani dan dimeterai melibatkan pelbagai perjanjian, kolaborasi dan usaha sama dalam menangani cabaran alam sekitar, memupuk pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan inovasi. Namun, saya sedikit kecewa kerana persidangan yang cukup baik ini, taraf international, antarabangsa ini ia tidak dapat sentuhan sewajarnya apabila tiada satu pun MOU yang ditandatangani itu melibatkan komitmen daripada kerajaan pusat. Walaupun dengan kehadiran Menteri, Menteri hadir, terlibat pula dengan sesi pembentangan. Mungkinlah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jika dalam perasmian yang lepas kalau kita dapat libatkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri 1 atau 2, ada 2 Timbalan Perdana Menteri, saya yakin komitmen akan nampak berlainan dan mungkin akan nampak kebersamaannya untuk kerajaan pusat menjayakan persidangan ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di dalam Belanjawan 2024 kali ini, kebanyakan syor yang dibentang dalam penyata oleh Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana telah dapat dirundingkan. Saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar menerima cadangan-cadangan kami ini. Ada banyak strategi dan pelbagai inisiatif di bawah semua teras, terutama Teras Keselamatan dan Kelestarian Alam Sekitar disentuh. Antaranya ialah Program Rintis Kenderaan Elektrik ataupun EV dengan peruntukan RM2.5 juta. Saya amat setuju dengan komitmen kerajaan untuk mula menukar kenderaan jabatan kepada teknologi berasaskan EV. Namun, jika kita telah menjadi pengguna EV, sudah tentu kita juga perlukan kepakaran automotif berkaitan dengan EV ini. Juga, kemudahan untuk mendapatkan bahan boleh ganti aksesori kenderaan seperti bateri dan sebagainya.
Justeru, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk turut memberikan agihan peruntukan kepada pendidikan berteraskan EV bagi mula melatih para pelajar dan mereka yang terlibat dalam bidang automotif EV ini. Mereka dilihat sangat berminat untuk mendalami pengetahuan berkaitan dengan teknologi ini. Ia penting kerana menjelang tahun 2030 nanti, apabila negara jiran kita mula menguatkuasakan undang-undang berkaitan kemasukan kenderaan ke negara mereka, di mana hanya kenderaan yang berstatus EV sahaja yang boleh masuk ke negara Singapura, maka kita telah pun mempersiap dan mempunyai kepakaran dalam bidang automotif EV ini. Dan, secara tidak langsung juga Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jika ada pelabur-pelabur luar yang berminat untuk membawa projek ini ke dalam negara, mereka akan mula memilih negeri Johor sebagai lokasi strategik di mana tenaga kerjanya telah pun siap terlatih mahir dalam teknologi berkaitan dengan electric vehicle ataupun EV.
Untuk rekod Dewan, Kolej Komuniti Kluang telah mula menghantar pensyarah dan tenaga pengajar mereka ke Korea University and Education sebagai langkah pertama untuk menjadikan Kolej Komuniti Kluang sebagai pusat bertauliah Institute of The Motor Industry ataupun IMI dalam bidang electric vehicle dan hybrid vehicle bagi zon selatan yakni negeri Johor. Saya ingin mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif kepada mana-mana pensyarah dan pengajar-pengajar daripada Institusi Pendidikan TVET yang memberikan komitmen bagi meningkatkan tahap kemahiran dan skil tenaga pengajar mereka dalam bidang berkaitan dengan EV ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan dengan kelestarian alam sekitar ini juga, saya ingin mengambil kesempatan di dalam perbahasan kali ini untuk turut mendesak kerajaan persekutuan agar dapat membuat penilaian semula kepada akta-akta berkaitan alam sekitar yang dilihat semakin kusam dan perlu penambahbaikan seiring dengan situasi semasa perubahan iklim negara. Sebagai contoh, akta berkaitan dengan pencemaran rentas sempadan, kita faham akta ini kalau kita dapat laksanakan dengan betul kemungkinan masalah berkaitan dengan jerebu dan sebagainya ini mungkin akan dapat kita atasi. Termasuk akta berkaitan dengan perubahan iklim yang sepatutnya telah pun di table kan di peringkat Parlimen. Perundangan yang kukuh seperti Akta Perubahan Iklim akan berfungsi sebagai penghalang dan akan menghentikan amalan yang merosakkan alam sekitar juga boleh memastikan pencemar bertanggungjawab dengan membayar ganti rugi kerosakan yang disebabkan oleh tindakan mereka. Undang-undang tersebut akan menjadi asas-asas menuntut keadilan iklim dengan beralih daripada amalan pencemaran iklim menuju ke arah masa depan yang adil untuk semua. Ini bukanlah mustahil Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Persidangan Dewan Undang Negeri Sarawak pada Isnin yang lalu telah pun sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau 2023 menjadikan ia negeri pertama meluluskan undang-undang seumpama itu di negara kita. Rang Undang-Undang itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk melaksanakan strategi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Rang Undang-Undang itu juga bertujuan menggalakkan penangkapan dan menyimpan karbon serta mengurangkan kesan perubahan iklim di samping memberi peluang kepada rakyat
Sarawak untuk mengambil bahagian dalam projek mitigasi kesan pemanasan global dan pelepasan gas rumah hijau.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemanis sarankan Johor sebagai sebuah negeri yang cakna alam sekitar sepatutnya turut menggubal undang-undang yang sama atau lebih baik lagi bagi memastikan kelestarian alam sekitar kita terus terjaga. Dan dalam perjumpaan bersama NGO-NGO alam sekitar juga mereka melahirkan kebimbangan penggunaan plastik yang masih lagi tinggi di kalangan rakyat. Walaupun ada inisiatif daripada kerajaan mengenakan caj kepada beg-beg plastik di pasar raya ia masih belum dapat menyelesaikan isu penggunaan produk berasaskan plastik di negara kita ini. Dan plastik ini jugalah yang menjadi punca pencemaran sungai dan laut di negara kita sehingga sistem perparitan kita tersumbat yang kebanyakan berpunca daripada pembuangan sampah plastik ini. Sewajarnya saya menyeru kepada pihak kerajaan negeri agar tidak lagi membenarkan syarikat-syarikat yang memproses, mencipta produk berasaskan plastik ini beroperasi di negeri Johor. Nampak keras nadanya tapi inilah cara terbaik pada negeri kita untuk mula bertindak atas perubahan iklim yang dah berlaku pada hari ini.
Terima kasih juga di atas pengumuman kerajaan bagi menaik taraf empangan-empangan yang ada di negeri kita ini. Walaupun jumlahnya agak kecil bagi menaik taraf 6 buah empangan dan jumlah peruntukan yang terhad, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memujuk, ha sebab kalau mengarah ni Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kadang-kadang mereka ikut, kadang-kadang mereka tak dengar, jadi elok kita pujuk mereka ini. Saya mohon mencadangkan pada kerajaan negeri agar mana-mana syarikat GLC negeri mahupun persekutuan ambil empangan-empangan ini sebagai anak angkat mereka di mana usaha ini akan dapat membantu sedikit sebanyak usaha secara bersama menjaga dan memastikan tempat di mana sumber asas kehidupan ini dijaga dengan baik. Dengan ini, kerajaan negeri termasuk agensi dan syarikat-syarikat swasta serta GLC dilihat prihatin dan dekat dengan usaha kerajaan melestarikan alam sekitar.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, cukuplah cerita alam sekitar ni. Izinkan Pemanis beralih kepada beberapa isu penting melibatkan kawasan DUN dan daerah. Pertama, isu berkaitan dengan perumahan. Kita sedia maklum bahawa kerajaan negeri memberi komitmen untuk menyiapkan 30,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2026. Oleh yang demikian, Pemanis ingin mencadangkan rumah mampu milik di kawasan seluas hampir 13 ekar milik kerajaan negeri dalam kawasan DUN Pemanis. Mungkin kalau dalam Inisiatif Keempat yang dibentangkan kelmarin, Residensi Bangsa Johor ataupun RBJ melalui kerjasama PKPJ dan GLC telah menyenaraikan beberapa lokasi strategik pembinaan RBJ ini, saya ingin mencadangkan untuk kerajaan negeri mempertimbangkan konsep dan kerjasama, pembinaan yang sama juga di kawasan tersebut.
Cadangan saya kali ini kalau dipertimbangkan untuk pelaksanaannya, tak perlu lagi dah buat majlis pecah tanah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya fobia, sebab baru-baru ini bila dengar jawapan daripada YB EXCO Perumahan kelmarin masa sesi soal jawab lisan, bila mana hampir semua projek pecah tanah perumahan mampu milik sama ada terbengkalai atau layu di hujung mekar. Kita siapkan dulu perumahan tersebut, dah siap, nak rasmi ke, nak lancar ke, baru kita buat majlisnya. Dan saya yakin jika ianya nanti dapat disiapkan, permintaan terhadap rumah mampu milik ini akan mengubah landskap kawasan penduduk di situ.
Bagi kawasan dalam tanah rancangan FELDA pula, isu pembinaan rumah generasi kedua masih lagi membelenggu dan dilihat kurang menerima jalan penyelesaiannya. Mana kan tidak, tanah yang dulunya milik FELDA, apabila kerajaan negeri membenarkan ia diracik dan diberikan lot rumah serta dikenakan premium yang murah bila nak buat rumah secara berkelompok, susah nak buat pinjaman menerusi institusi kewangan, kalau pun boleh, dikatakan tanah tersebut sukar dimasukkan dalam perjanjian pajakan bank.
Ada macam-macam 1,001 perkara membelenggu isu untuk dicari jalan penyelesaiannya. Yang ini kerajaan kena bantu untuk memantau kerana ini janji kita dalam menifesto pilihan raya yang lepas untuk membantu generasi kedua FELDA. Saya pernah mencadangkan agar ditubuhkan satu jawatankuasa khas berkaitan FELDA yang dianggotai oleh ADUN-ADUN yang mempunyai kawasan FELDA, ketua-ketua jabatan dalam FELDA, jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta agensi yang terlibat. Dan jawatankuasa ini nanti boleh bermesyuarat memanggil mana-mana pihak berkepentingan termasuk jabatan-jabatan kerajaan, insititusi kewangan dan FELDA sendiri termasuk kepimpinan masyarakat untuk berbincang bagi memutuskan penyelesaian perkara-perkara yang berbangkit ini nanti.
Untuk pengetahuan Dewan, Johor mempunyai bilangan kedua terbesar kawasan FELDA dalam negara kita. Ada lebih 70 buah tanah rancangan di Johor ini. Kalau kerajaan dah setuju, tapi sehingga sekarang masih belum ada perkembangannya, yang ini saya minta jasa baik dua agensi FELDA Wilayah Johor Bahru dan Wilayah Segamat untuk menggerakkan usaha membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat penubuhan jawatankuasa ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya beralih kepada isu mini stadium dan juga belia. Di daerah Segamat ini, apabila ada cadangan daripada pimpinan belia untuk mewujudkan sebuah pusat sukan daerah, antara perkara yang terlintas dalam kepala kami sudah tentu Projek Penswastaan Stadium Mini dan Stadium Tertutup Segamat yang bernilai RM22.5 juta seluas hampir 11 ekar yang sepatutnya siap pada November 2019. Isu ini ramai YB dah bangkit, YB Tenang ada bangkit, YB Kemelah ada bangkitkan tentang isu mini stadium ini. Namun apa yang berlaku setelah hampir 7 tahun, projek yang boleh kita kategorikan sebagai terbengkalai ini masih menanti keputusan sama ada ia akan terus terbina atau diserahkan semula kepada kerajaan negeri.
Bila mana daerah baharu diumum mendapat peruntukan bagi membina mini stadium tahun hadapan, sudah pastilah warga belia terutamanya di daerah Segamat bertanyakan perihal mini stadium ini. Pemanis amat berharap Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) dapat memberikan jawapan segera dan tuntas untuk menjawab persoalan ini. Jika tempoh masa perjanjian telah tamat tempoh, elok diusahakan cadangan baharu, jika masih terikat dengan perjanjiannya, Pemanis sarankan supaya peruntukan perundangan diguna pakai bagi memastikan pembangunan mini stadium ini tidak terus menjadi projek pecah tanah sahaja.
Di kesempatan ini juga saya ingin, Pemanis ingin bertanya kepada kerajaan negeri berkenaan cadangan penubuhan hab belia ataupun TMIYC di daerah-daerah termasuk Segamat. Dikatakan dalam tempoh 5 tahun, semua daerah akan dibina TMIYC ini. Pemanis ingin mencadangkan agar lokasi Segamat Country Club yang telah sedia ada kemudahan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang kini menyewa tanah yang rupanya milik kerajaan negeri diberikan nafas baharu dengan pembukaan hab belia di sini. Mungkin YB EXCO boleh dijemput hadir untuk melihat sendiri kemudahan yang ada, semoga cadangan ini nanti akan dapat memberikan manfaat besar khususnya kepada orang-orang muda di daerah Segamat.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas bantuan dana pengurusan dan pentadbiran Majlis Belia Negeri Johor sebanyak RM200,000.00 dan juga Majlis Belia FELDA Kawasan Negeri Johor sebanyak RM345,000.00. Walaupun ada peruntukan disebut juga sebanyak RM1.5 juta untuk setiap daerah menganjurkan Jelajah Aspirasi Muda Johor. Sukalah Pemanis ingin mencadangkan agar dana RM10,000.00 turut diberikan kepada semua Majlis Belia di daerah-daerah sebagai dana pengurusan dan pentadbiran mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya beralih kepada isu jalan. Pemanis ingin menarik perhatian kerajaan negeri untuk memanjangkan hasrat warga pengguna daerah
Segamat berkenaan permohonan projek program pembangunan Baharu, Rolling Plan ke-2025, Rancangan Malaysia Ke-12 bagi kerja-kerja menaik taraf Jalan Segamat – Kuantan ataupun FT12 bermula dari Seksyen 1 hingga Seksyen 20 atau lebih dikenali dengan Lebuh raya Segamat – Kuantan. Nama aje lebuh raya, tapi standardnya macam jalan biasa. Jalan di mana urusan pelebarannya dalam tahun 2013 dahulu bermula daripada Kuantan sehingga ke Paloh Inai terhenti. Pemanis ingin mencadangkan agar jika dimulakan semula, projek pelebaran jalannya mestilah dimulakan dalam negeri Johor yang panjangnya tak sampai 20 kilometer sehingga ke sempadan negeri. Laluan ini yang menghubungkan dua negeri sepatutnya dah lama melalui proses pelebaran dan naik taraf. Sebelum ini telah banyak kemalangan dan kematian yang berlaku akibat laluan jalan yang sempit dan gelap. Saya minta kerjasama YB EXCO meletakkan priority di dalam senarai projek yang akan diangkat ke JKR Malaysia. YB boleh menyemak permohonan status JKR daerah kepada negeri dan kerajaan pusat termasuk kerja membina jalan baharu dan naik taraf persimpangan Jalan Segamat – Kuantan ke selekoh Rasau.
Isu Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti atau PKPDK. Mulai Mac 2021 kadar sagu hati yang diterima penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200.00 kepada RM1,400.00. Setiap penyelia dan petugas pula menerima elaun tambahan dari kerajaan Johor sebanyak RM200.00 sebulan mulai tahun 2015. Oleh itu, jumlah keseluruhan elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,600.00 sebulan dan petugas RM1,400.00 sebulan. Cuma nak minta jasa baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar, petugas ni pun tak ramai daripada seluruh negeri Johor, tak sampai 500 orang pun. Bolehlah kiranya jika dipertimbangkan elaun mereka ini dinaikkan kepada RM100.00 lagi tahun hadapan supaya elaun yang diterima ini selaras dengan gaji minima sebanyak RM1,500.00. Dan ramai yang hantar mesej kepada saya sebelum berucap ni Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, minta tolong sampaikan salam kepada YAB Dato’ Menteri Besar dengan pesanan kasih sayang jangan lupa bonus 2 bulan tu masukkan juga mereka sekali dalam senarai, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Saya ingin mengulas berkenaan cadangan bagi diadakan pilihan raya PBT ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sedikit aje lagi. Bagi menjawab persoalan di atas, elok kita lihat siapa yang menganggotai PBT. Menurut Akta Kerajaan Tempatan Tahun 1976, Ahli PBT dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Negeri ialah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di mana YB yang mempengerusikannya adalah Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Kerajaan negeri pula ialah kerajaan yang dipilih secara majoritinya oleh rakyat. Oleh itu, hasrat rakyat untuk menentukan pihak yang menguruskan PBT sebenarnya sudah boleh dicapai melalui pilihan raya yang memilih kerajaan negeri. Cuma, bezanya ia tidak berlaku secara langsung, maksud saya kalau hari ini kerajaan negeri yang telah dipilih itu adalah kerajaan yang memang disokong oleh rakyat jadi apabila memilih Ahli-Ahli Majlis melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri maka saya kira itu juga adalah merupakan daripada suara rakyat. Oleh yang demikian Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemanis kurang bersetuju dengan idea untuk diadakan Pilihan Raya Tempatan ini, ia akan melibatkan banyak pihak dan kos yang tinggi nanti. (Dewan bertepuk). Dan dengan kaedah sekarang, sebenarnya semua lantikan-lantikan tak kiralah Datuk-Datuk Bandar ke, Ahli-Ahli Majlis ke adalah mereka yang terlantik secara sah dan tanpa prejudis.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, banyak lagi isu nak bawa tapi demi memacu pembangunan dan menyejahterakan rakyat, kita akan terus membawa perkara-perkara ini mungkin dalam siding-sidang yang lain. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita semua dalam memastikan amanah dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamaualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk). Pemanis menyokong rundingan belanjawan ini. Terima kasih.
Terima kasih Pemanis. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah seramai 43 orang Ahli Dewan Negeri telah melibatkan diri dalam perbahasan Atas
Rundingan Bacaan Kali Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023. Insya-Allah, esok Khamis 30 Disember 2023 akan bermula sesi pergulungan bagi pihak kerajaan.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dan mengenengahkan isu dan pandangan untuk kebaikan rakyat dan kerajaan. Kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat berjaya menyampaikan mesej dengan baik dan juga berkelakuan amat baik. (Dewan bertepuk). Ini sudah pasti akan lebih bermakna lagi dengan komitmen semua pihak untuk mengikat erat muafakat untuk membangun negeri ini. Sama-samalah kita hargai dan pertahankan keamanan, keharmonian dan muafakat yang sedia ada, dijauhi fenomena yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Ahli-Ahli Yang Berhormat, tahniah kepada semua. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 30 November 2023, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4.54 petang.