Johor · 30 November 2023

2nd session, 4th meeting · 145 turns · 38,506 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin memetik satu quotation penting mengenai Dewan Negeri dengan izin, “it is impossible to practice state assembly politics without having pression, decency, politeness and courtesy. Debate is the essence of state assembly politics”.

Pada hari ini Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa akan membuat penggulungan atas Rundingan Bacaan Kali Kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 Tahun 2023. Justeru atas panduan itu tadi, saya akan membenarkan Ahli-Ahli Yang Berhormat membuat pertanyaan bukan soalan ketika Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa membuat penggulungan.

Saya hanya membenarkan pertanyaan bukan soalan. Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, pertanyaan ialah Ahli-Ahli bertanya kerana tidak tahu jawapannya seperti kaunter pertanyaan di pejabat kerajaan. Manakala soalan ialah kita sudah tahu jawapannya, kita menyoal kerana ingin menguji pengetahuan seseorang seperti soalan peperiksaan SPM. Justeru apabila membuat pertanyaan, Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak dibenarkan mengulas, membuat huraian, membahas dan lain-lain. Terus sahaja buat pertanyaan yang ringkas.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan Jabatan Pertanian Negeri Johor menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan ke Program Promosi Buah-Buahan Johor hari ini dari jam 12.00 hingga 2.30 petang bertempat di Aras Bawah, Bangunan Sultan Ismail.

Jadi jangan makan banyak sangat durian itu eh, takut ada yang tumbang nanti. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd. Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1. Terima kasih.

Program Jualan Rahmah sedikit sebanyak membantu rakyat dalam menangani kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Sampai bilakah ianya akan terus diadakan dan adakah mekanisma lain yang lebih menjurus situasi ‘menang-menang’ agar tidak menjejaskan peruncit tempatan?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Yang Berhormat Datuk Speaker, sepertimana kita sedia maklum Program Jualan Rahmah merupakan satu inisiatif di bawah payung rahmah yang telah pun dilancarkan oleh kerajaan

persekutuan. Dan ia sedikit sebanyak telah pun membantu rakyat dalam menangani kenaikan harga barangan dan juga kos sara hidup. Dan merujuk kepada pembentangan Belanjawan Tahun 2024 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan persekutuan telah pun memperuntukkan RM200 juta untuk memperluaskan serta memperkasakan inisiatif-inisiatif di bawah payung rahmah. Dan daripada RM200 juta tersebut, RM150 juta adalah akan digunakan untuk melaksanakan Program Jualan Rahmah pada tahun hadapan. Dan ia menunjukkan dan juga sebagai satu manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kos isu kos sara hidup. Dan sepertimana Dewan ini sedia maklum, jualan rahmah anjuran KPDN Johor menawarkan diskaun harga atau subsidi antara 10% hingga 30% daripada harga tawaran peniaga, vendor, pasar raya yang dilantik bagi menyertai jualan tersebut.

Mana-mana peruncit, pemilik pasar mini, kedai runcit yang berminat untuk menyertai jualan rahmah ini boleh bolehlah apa tu menghubungi pihak KPDN di peringkat daerah ataupun di peringkat negeri, kerana ia secara langsung atau tidak langsung dapat membantu meningkatkan jualan harian dan juga mempromosikan premis tersebut. Dia juga sebagai satu langkah menang-menang agar tidak menjejas peruncit tempatan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 2.

Apakah pihak kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membina bangunan tambahan di Hospital Sultanah Nora Batu Pahat memandangkan jumlah pesakit yang semakin bertambah?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada DUN Senggarang. Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat (HSNIBP) telah bermula beroperasi di lokasi sedia ada pada tahun 1994 dan bangunan tambahan pula mula beroperasi sejak tahun 2012 dengan kapasiti jumlah katil sebanyak 610 katil.

HSNIBP merupakan hospital berpakar major dengan liputan penduduk seramai 495,000 orang termasuklah pengundi daripada Senggarang dan juga pengundi daripada kawasan saya, Yong Peng dan juga pengundi daripada kawasan Rengit. Kadar penggunaan katil hospital, Bed Occupancy Rate (BOR) merupakan di antara kriteria penting bagi cadangan pembinaan sesebuah hospital gantian. Laporan statistik tahunan pada tahun 2022 menunjukkan kadar penggunaan hospital ialah 77%.

Bagi meningkatkan potensi hospital ini, berbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh pihak hospital dan JKNJ sama ada daripada aspek pembangunan prasarana bagi keselesaan pesakit semasa mendapatkan rawatan mahupun pengukuhan perkhidmatan perawatan pesakit kepada komuniti setempat. Pihak Kementerian sentiasa membuat penilaian secara berterusan dan cadangan membina bangunan tambahan akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan dari masa ke semasa. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, Hospital Sultanah Nora Ismail ini ada 2 blok. Satu blok baru dan satu lagi blok lama. Keadaan di blok lama ini, banyak wad-wadnya yang uzur dan panas. Soalan saya Datuk Speaker, adakah kerajaan merancang untuk menaik taraf wad-wad ini? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih soalan tambahan daripada ADUN Senggarang. Terdapat 14 wad di HSNIBP dan di antaranya, lapannya, 8 wad di blok lama yang beroperasi hampir 30 tahun. Dan memang benar, pihak hospital ataupun JKNJ berhadapan dengan kekangan kekurangan peruntukan untuk menaik taraf ataupun menambah baik facilities yang lama khususnya penambahan peralatan non-medical equipment, dengan izin. Walau bagaimanapun, kebersihan dan keceriaan bagi wad sentiasa diutamakan oleh pihak hospital.

Dan untuk maklumat Yang Berhormat Senggarang, pada tahun ini sahaja 2023, dengan usaha kerajaan negeri, RM50,000.00 peruntukan telah disalurkan kepada pihak hospital untuk menambah equipment non-medical asset kepada pihak hospital untuk menambah meningkatkan keselesaan dalam wad tersebut. Dan bukan begitu sahaja, dengan usaha pejabat saya dan juga NGO tempatan, kita dah menyumbang kipas dan cooler kepada pihak hospital, bukan begitu sahaja dengan usaha bersama pejabat saya dan juga 2 syarikat swasta di daerah Batu Pahat telah menyumbangkan katil yang baharu dan locker yang baru di wad pediatrik ataupun wad kanak-kanak di bangunan lama juga. Dengan ini, telah menambah keselesaan bagi pesakit yang apa ini berehat dalam wad tersebut. Dan ini juga sebagai satu contoh yang terbaik, kerjasama di antara kerajaan, NGO dan juga syarikat swasta.

Saya juga ambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pihak mahupun daripada pihak NGO, daripada GLC ataupun syarikat swasta, bolehlah kami mengalu-alukan pihak anda untuk melaksanakan tanggungjawab sosial ataupun program CSR dalam hospital. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati. 42 orang daripada JPKK Kampung Sungai Merlong Tengah, Mukim 12, Sungai Kluang, Rengit, ha ni penyokong saya semua ini (Dewan bertepuk). Kedua, 21 orang daripada Pejabat ADUN Kemelah, YB Kemelah ada? Dan 3 orang daripada Pejabat ADUN Parit Raja (Dewan bertepuk). Dijemput YB Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 3.

Jalan sambung VBC akan memberi impak yang tinggi. Adakah kerajaan negeri memasukkan projek ini di dalam Belanjawan Negeri Johor 2024?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Mengkibol.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan sekalian, cadangan Yang Berhormat Mengkibol untuk projek penyambungan jalan untuk lintasan Vehicle Box Culvert dengan izin VBC, Jalan Mengkibol – Kluang berada di bawah landasan kereta api ETS Gemas – Johor Bahru telah dinilai dan diulas oleh semua jabatan dan agensi teknikal yang berkenaan. Projek sepanjang 700 meter ini melibatkan pembinaan jambatan baru melintasi Sungai Mengkibol dengan anggaran kos fizikal RM4.2 juta.

Pertamanya berdasarkan pelan cadangan, projek ini dijangka akan melibatkan pengambilan balik tanah PBT yang akan menelan kos yang agak tinggi, yang tidak termasuk kos fizikal RM4.2 juta seperti yang saya sebutkan tadi. Terdapat 8 lot tanah berhak milik yang berada di zon perumahan dengan anggaran nilai semasa RM440.00 semeter persegi atau RM40.00 ke RM41.00 sekaki persegi, tanpa mengambil kira struktur yang ada di atas tanah berkenaan.

Selain itu, tanah yang ingin dijadikan rizab ini terlalu hampir dengan tapak rumah kediaman dan akan termasuk juga rizab Sungai Mengkibol, yakni perlu dikekalkan pada jarak 60 meter iaitu kawasan dataran banjir yang akan menjadi laluan air semasa hujan lebat di kawasan hulu. Dan dirancang untuk dijadikan kawasan penampan banjir atau buffer zone dengan izin, untuk masa akan datang serta rizab tanah lapang yakni padang.

Berdasarkan ulasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor, pembinaan struktur jambatan dan jalan dalam rizab tebatan banjir tidak dibenarkan. Dan bukan pilihan amalan kejuruteraan terbaik kerana dikhuatiri kesan daripada arus yang deras dan limpahan air sungai akan melemahkan struktur tersebut seterusnya meningkatkan risiko keruntuhan. Rizab sungai ini dirancang untuk dijadikan zon penampan.

Kelebaran VBC ini juga tidak mencukupi untuk digunakan oleh kenderaan berat dan besar seperti bas dan lori. Isu keselamatan pengguna jalan raya juga dibangkitkan apabila cadangan projek ini mempunyai 4 selekoh tajam di samping akan mengundang kesesakan kerana jarak di antara selekoh ini berdekatan antara satu sama lain iaitu kurang 200 meter.

Sebagai alternatif kepada cadangan Yang Berhormat Mengkibol ini, kerajaan negeri telah menyediakan satu cadangan jalan baharu berimpak tinggi yang merupakan jalan pintasan Kluang atau Kluang bypass dari Jalan Mengkibol J 25 di Persimpangan Lampu Isyarat Taman Muhibbah ke Jalan Kota Tinggi FT 91 sepanjang 2.1 kilometer dengan anggaran RM59,000,221.00 di bawah Program Rolling Plan Ke-5, Pembangunan Baharu Rancangan Malaysia (RMK-12). Objektif projek ini adalah untuk memenuhi pelan pembangunan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) daerah Kluang di mana satu penyuraian trafik diperlukan dari arah Kluang Barat yakni Jalan Stadium, Tasek Indah dan Jalan Delima merentas ke arah timur iaitu Jalan Kota Tinggi serta Jalan Mersing. Laluan baharu ini akan melengkapkan rantaian lingkaran jalan-jalan PBT, negeri dan persekutuan di daerah Kluang dan akan mengurangkan sejumlah 70% kesesakan di mana pengguna tidak perlu melalui Pusat Bandar Kluang untuk ke arah Mersing, Ayer Hitam, Segamat ataupun ke Simpang Renggam. Saya faham bahawa projek yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Mengkibol ini merupakan penyelesaian kesesakan trafik untuk jangka pendek, namun begitu ulasan-ulasan teknikal ini perlu juga diperhalusi dan dipertimbangkan. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada YB EXCO kerana menyelesai satu isu rakyat Kluang membantu dengan usaha YB EXCO telah ada lampu di sepanjang jalan 20 kilometer dari Tol Ayer Hitam ke bandar Kluang, terima kasih. Seperti yang dikatakan oleh YB Kahang semalam, ADUN datang ke Dewan yang mulia ini demi menyelesaikan masalah rakyat. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Speaker semalam, Dewan ini peranannya sebagai, kita sebagai legislator datang ke Dewan ini meluluskan enakmen termasuk Enakmen Belanjawan 2024 yang merangkumi pelbagai projek yang dapat menyelesaikan masalah rakyat. Serupa dengan laluan BBC yang baru-baru ini dibuka..

Speaker

Pertanyaan Yang Berhormat, pertanyaan.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Ya. Soalan saya, bolehkah pihak YB EXCO mengadakan satu traffic model atau kajian traffic modelling supaya mencarikan penyelesaian dia dan mengadakan satu mesyuarat penyelarasan bersama BPENJ jadi kita bolehkan penyelesaian bersama seperti yang dikatakan oleh ulasan JKR, pejabat ini tiada halangan dengan syarat ulasan teknikal jabatan-jabatan teknikal dipenuhi sepenuhnya. Sekian terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Seperti yang saya nyatakan tadi bahawa, kita faham bahawa cadangan Yang Berhormat Mengkibol ialah cadangan untuk jangka masa pendek dan projek yang kita angkat ke peringkat persekutuan bernilai RM59 juta ini, kita boleh mohon tapi belum tentu diluluskan di peringkat kerajaan persekutuan. Saya faham isu yang dihadapi di kawasan Mengkibol, oleh itu saya setuju dengan Yang Berhormat Mengkibol, saya akan mempengerusikan sendiri cadangan ini sebab kebanyakan ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal tiada halangan kecuali ianya melibatkan tebatan banjir dan sebagainya. Dan insya-Allah kita akan, saya akan turun sendiri melihat kawasan tersebut dan mulakan mesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan sebab saya nampak ini salah satu langkah yang baiklah sementara kita menunggu projek yang lebih besar. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertanyaan saya nombor 4.

Sila nyatakan maklumat terperinci dan hasil tentang operasi penguatkuasaan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kulai dan Jabatan Imigresen Johor terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing sekitar daerah Kulai dalam tempoh tahun 2023.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Bismillahirrahmanirrahim. Soalan Yang Berhormat ADUN Senai berbunyi, sila nyatakan maklumat terperinci dan hasil tentang operasi penguatkuasaan yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kulai dan Jabatan Imigresen Johor terhadap aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di sekitar daerah Kulai dalam tempoh 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum sehingga bulan November 2023, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan, Majlis Perbandaran Kulai telah melakukan pemantauan dan operasi bersepadu di kawasan-kawasan yang menjadi tempat aktiviti warga asing seperti menjalankan perniagaan dan menjaja tanpa lesen. Tindakan yang dilakukan setakat ini sepanjang tempoh sehingga Oktober 2023 terdapat sejumlah 6 operasi dan 6 lokasi di kawasan Taman Seri Senai, di Desa Idaman, di Bintang Utama, di Bandar Senai dan Tan Yoke Fong dan juga di Kota Kulai. Hasil daripada penguatkuasaan ini tindakan yang telah diambil di peringkat Majlis Perbandaran Kulai ialah 10 sitaan penjaja, 7 notis tutup, 14 warga asing ditahan dengan denda melibatkan RM5,900.00. Antara operasi bersepadu oleh Majlis Perbandaran Kulai bersama Jabatan Imigresen Negeri Johor yang dilaksanakan pada 20 Jun 2023 dengan menyasarkan pemeriksaan ke atas premis perniagaan yang didakwa melibatkan warganegara asing, seramai 22 warganegara asing telah diperiksa dan tindakan penguatkuasaan juga telah diambil mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan. Terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih jawapan yang diberikan oleh YB EXCO. Selain aktiviti perniagaan, isu penempatan pekerja warga asing di taman perumahan sekitar Senai juga semakin tidak terkawal seperti di Taman Scientex Senai, terdapat seramai 1,300 orang pekerja asing telah tinggal di sana memastikan 80 unit rumah. Soalan tambahan Senai, adakah kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Senai untuk menubuhkan satu task force yang merangkumi PBT, Imigresen, PDRM dan DOSH untuk menangani dua isu tersebut berkaitan dengan warga asing di Senai. Sekian terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada Yang Berhormat ADUN Senai. Menjawab soalan ADUN Senai, dah semestinyalah di peringkat, bukan setakat ADUN yang mengadu kalau ada pemilik atau orang ramai mengadu ada aktiviti atau kacau ganggu di peringkat kawasan penduduk setempat, mereka boleh buat aduan bukan setakat kepada PBT tetapi juga kepada pihak Polis. Dah tentulah bila ada setiap aduan ini, dah tentulah tindakan boleh diambil. Saya nak kongsi juga, ini MPKu pun sekarang tengah sediakan satu prosedur khas, tindakan yang telah dibuat sebagai langkah pencegahan awal bagi permohonan baharu lesen perniagaan. Jadi kalau di Senai itu bukan setakat di Senai sajalah, saya ingat di Pasir Gudang ada, di JB pun ada, di Iskandar Puteri pun ada, di bandar-bandar besar pun ada, di mana mereka meniaga tidak menggunakan lesen.

Kalau untuk makluman di dalam Dewan yang mulia ini, untuk Undang-Undang Kecil Penjaja (UUK) ini, ada dua akta di situ Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu pertama Undang-Undang Kecil Penjaja, kedua Undang-Undang Kecil Pasar Malam. Ramai, mungkin rakyat tidak tahu bahawa kadang-kadang kita pergi ke pasar malam, pasar pagi ada orang-orang asing meniaga di satu-satu tempat di dalam kawasan itu. Sebenarnya perkara itu adalah salah. Kalau ada aduan, Pihak Berkuasa Tempatan boleh merampas barang tersebut dan mengenakan denda. Kalau tengok dari segi tindakan yang boleh dikenakan termasuk denda RM2,000.00 dan sebagainya. Sebab itu, saya selalu pesankan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, penguatkuasaan kepada penjaja-penjaja asing yang tidak berlesen perlu digerakkan supaya apa tuan-tuan, supaya peniaga-peniaga orang tempatan akan terlindung. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Nyatakan bilangan pelajar dan anak muda yang telah dibantu melalui Program Youngsters Coding dan Program Young Dronengineers untuk melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri Johor.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bukit Batu, nyatakan bilangan pelajar dan anak muda yang telah dibantu melalui Program Youngsters Coding dan Program Young Dronengineers untuk melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Young Dronengineers bermatlamat mempersiapkan anak muda Johor dalam industri berkemahiran tinggi melalui eksplorasi pengetahuan dan kemahiran seperti pengaturcaraan, robotik, percetakan 3D, analisis data, pemetaan, reka cipta dan inovasi. Sebanyak 12 buah Sekolah Aspirasi Johor akan dibangunkan dengan Techno Maker Lab sebagai pusat pengajaran daya cipta, reka space manakala guru serta murid dibina keupayaan masing-masing dalam, dari segi kemahiran berkaitan teknologi drone dan Kecerdasan Pembuatan, Artificial Intelligent berkaitan drone dan robotik. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek penyelesaian masalah dan inkuiri penemuan menerusi 12 modul drone mampu meningkatkan elemen murid dalam bidang STEM di peringkat menengah dan juga IPT. Jadi, sehingga bulan November 2023 seramai 120 orang murid fokus telah mengikuti pembelajaran drone melalui Program Student Book Camp Johor Young Dronegineers yang telah dilaksanakan pada 24 hingga 26 Ogos 2023 di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru yang lepas. Seramai 24 orang guru pembimbing telah diberikan pengetahuan, diberikan kemahiran dan dibangunkan kapasiti masing-masing

untuk membimbing murid fokus ini di sekolah melalui Bengkel Training of Trainers yang diadakan 6 hingga 8 Jun 2023 yang lepas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, peranan guru pembimbing akan memastikan 40 orang murid fokus ini di setiap sekolah berjaya menguasai 12 modul pengajaran drone dan seterusnya menjadi ikon di sekolah untuk membantu perluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan teknologi drone kepada warga sekolah. Segala kemudahan dan peralatan yang diberikan bukan terhad kepada murid fokus sahaja tetapi manfaatnya dikongsi bersama dengan seluruh warga sekolah dan sekolah-sekolah yang berhampiran. Menjadi aspirasi program ini agar bakat anak muda Johor yang telah dibangunkan akan memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan dapat menyumbangkan kepada pembangunan serta kemajuan negeri Johor yang kita cintai ini. Sekian terima kasih.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Yang Berhormat Datuk Speaker, Program STEM yang bermanfaat sebegini, sepatutnya disambut baik dalam semua lapisan pelajar tetapi kebanyakan pelajar dan belia di kawasan luar bandar ini kurang mengetahui program tersebut. Soalan tambahan saya, adakah pihak YB EXCO mempunyai pelan untuk mempromosikan program tersebut di kawasan luar bandar? Terima kasih.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas soalan tambahan itu tadi. Sekolah yang menjadi pilot bagi program ini adalah Sekolah Aspirasi Johor, Yang Berhormat. Senarai sekolah kalau saya boleh kongsikan ada 12 buah sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi, Batu Pahat; Maktab Sultan Abu Bakar Johor Bahru; SMKA Sultan Ibrahim; SMK Simpang Renggam; SMK Tun Habab Kota Tinggi; SMK Bandar Putra, Kulai; SMK Seri Mersing, Mersing; SMK Dato’ Seri Amar Diraja, Muar; SMK Dato’ Penggawa Timur, Pasir Gudang; SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian; SMK Dato’ Bentara Dalam, Segamat dan SMK Tun Mamat, Tangkak. Bagi Pilot Project Young Dronegineers ini bermula dengan satu daerah satu sekolah. Bagi daerah Kulai, sekolah yang telah terpilih adalah SMK Bandar Putra. Melihatkan program ini sangat memberangsangkan bak kata Yang Berhormat Bukit Batu tadi, insya-Allah kita akan memperluaskan program ini ke sekolah-sekolah yang lain terutama sekali sekolah di luar bandar, Yang Berhormat. Sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Parit Raja nombor 6.

Minta dinyatakan usaha-usaha pihak kerajaan untuk merancakkan lagi pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi mendapatkan sumber makanan dan hasil pertanian.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa inisiatif dan usaha yang dilakukan kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat. Bagi keluarga B40 misalnya dan penduduk luar bandar melalui Jabatan Pertanian Negeri Johor, pelbagai inisiatif termasuk pemberian benih dan input tanaman berskala kecil telah kita usahakan bagi memberi aktiviti penanaman kepada beberapa individu yang terpilih. Begitu juga melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar, anak-anak ayam berskala kecil dengan jumlah 20 ke 40 ekor

diberikan kepada keluarga-keluarga B40 dan terpilih. Namun, ia hanya dengan jumlah yang agak terhad dan berskala kecil.

Dan, bagi menjawab soalan Parit Raja dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama dalam hal mendapatkan sumber bekalan makanan dan hasil pertanian, maka agensi sebenar yang memainkan peranan utama adalah FAMA. Untuk makluman Yang Berhormat, berikut merupakan program dan aktiviti oleh FAMA negeri dalam mengurangkan kos sara hidup bagi mendapatkan keperluan asas. Antaranya adalah yang pertama, Bazar Rakyat Agro Johor atau BRAJ. Penganjuran Bazar Rakyat Agro Johor ini adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri melalui FAMA negeri untuk membantu rakyat mengatasi kenaikan harga barang dengan peruntukan sebanyak RM862,000.00. Sehingga November 2023, 62 siri program BRAJ telah diadakan yang melibatkan 1,936 usahawan dan memberi manfaat kepada 124,932 orang iaitu masyarakat setempat. Dan, di Batu Pahat sahaja lapan siri telah di jalankan dan melibatkan 16,120 orang penerima manfaat. Dengan nilaian penjimatan sebanyak RM1.48 juta yang dimanfaatkan oleh masyarakat setempat terutamanya kumpulan sasar menerusi program ini. Manakala, RM6.22 juta jualan keseluruhan melibatkan 1.472 metrik tan sepanjang pelaksanaan program ini dengan dana peruntukan asal oleh kerajaan negeri sebanyak RM800,000.00 yang diterima sepanjang tahun 2023.

Komoditi yang ditawarkan dalam Bazar Rakyat Agro Johor ini adalah seperti ikan segar, ayam segar, telur, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan seperti minyak masak, daging dan sebagainya. Antara program, antara apungan harga atau potongan harga yang dilakukan oleh FAMA dan usahawan-usahawan FAMA adalah seperti, minta maaf Yang Berhormat, adalah seperti ayam bulat potongan sebanyak RM6.00, ikan segar potongan sebanyak RM5.00 sekilo, telur ayam gred C melibatkan potongan RM4.00 sepapan dan minyak masak ukuran 5 kilogram dengan potongan RM5.00 sebotol.

Saya juga hendak mengambil kesempatan Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana ada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam jualan Bazar Rakyat Agro Johor ini. Saya difahamkan oleh FAMA, ada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menambah jumlah kuantiti barang jualan contohnya FAMA menyediakan 500 ekor, ada YB yang menambah sehingga 800 ke 1,000 ekor. Dan, ada juga yang menambah jumlah potongan atau apungan, ada Ahli Yang Berhormat yang menambah contohnya ayam dari potongan RM6.00 terus potong jadi RM10.00, ayam potong, ikan RM5.00 terus potong kepada RM10.00 begitu juga telur dan sebagainya. Jadi, saya ambil kesempatan hari ini hendak ucap terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang terlibat dan saya pun bersetujulah kalau ada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyebutkan supaya, yang mencadangkan supaya elaun dan gaji Yang Berhormat disemak semula kerana mereka banyak membantu rakyat terutama ketika dalam soal harga dan kos sara hidup ini.

Speaker

Yang Berhormat nak suruh bagi subsidi ayam ke?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua ialah jualan Agro Madani. Penjenamaan semula nama program asal iaitu Jualan Terus Dari Ladang kepada Program Jualan Agro Madani ini susulan keputusan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Bilangan 3/2023, pada 7 April 2023 program ini adalah di outlet pemasaran FAMA seperti Pasar Tani, Pasar Tani kekal dan lain-lain. Objektif utama jualan Agro Madani ini adalah memastikan penjimatan antara 10% ke 30% dari harga jualan berbanding harga pasaran setempat bagi produk yang terpilih.

Berikut adalah komoditi jualan yang terdapat di Jualan Agro Madani, antaranya ialah produk segar seperti ayam, telur, ikan, daging, sayur, buah-buahan dan barangan runcit. Kedua, produk tambahan seperti barang kawalan gula, minyak, tepung, beras dan sebagainya. Dan

yang ketiga ialah, Kombo Madani iaitu tawaran jualan murah dengan penjimatan 10% hingga 50% dari harga asal.

Seperti juga BRAJ, agensi FAMA telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan Program Jualan Agro Madani ini. FAMA Negeri Johor telah mengadakan 173 jumlah Jualan Agro Madani di seluruh negeri Johor bermula 6 Ogos sehingga 12 November 2023 dengan penglibatan usahawan seramai 1,290 orang dan penerima manfaat anggaran 60,500 orang.

Sehubungan dengan itu juga, Jualan Kombo Madani turut menjadi perhatian rakyat yang amat ketara. Seperti FAMA Johor telah menjual ayam segar seekor dan sepapan telur dengan harga kombo iaitu RM15.00 sahaja. Dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat dan memastikan bekalan sumber makanan utama sentiasa mencukupi dalam pasaran, kerajaan menerusi pelaksanaan pejabat, kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor telah memperluaskan pelbagai inisiatif seperti yang pertama, pelaksanaan Program Jualan Rahmah Dan Premis Dalam Premis iaitu dua kali sebulan di setiap lima bulan di enam kawasan DUN. Jualan Rahmah Luar Premis, sebulan sekali di lokasi terpilih dan Jualan Rahmah bergerak satu kali seminggu di kesemua 26 Parlimen yang menawarkan barangan keperluan asas pada kuantiti dan harga yang rendah daripada harga pasaran setempat. Setakat 31 Oktober 2023, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM2,277,802.44 untuk tujuan menampung diskaun harga barangan keperluan yang utama seperti ayam, beras, telur, tepung gandum, ikan dan hasil laut. Lebih 800,000 ketua isi rumah juga telah mendapat manfaat melalui pelaksanaan Jualan Rahmah di negeri Johor. Pelaksanaan skim yang keduanya, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi setiap perayaan iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas dan sebagainya. Bagi mengawal kenaikan harga barangan utama di musim-musim perayaan. Sehingga kini, KPDN Negeri Johor telah melakukan 1,692 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit.

Inisiatif yang ketiga Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah pelaksanaan penentuan harga maksimum telur ayam bagi menstabilkan, bagi memberikan kestabilan harga ke aras barangan harga terkawal termasuklah di peringkat pengeluaran, pemborongan dan peruncitan. Sehingga kini sebanyak 9,488 pemeriksaan telah dilaksanakan meliputi peringkat peruncit, pemborong dan pengeluar. Dan, inisiatif yang keempat ialah pelaksanaan pemeriksaan harga ayam di peringkat peruncit bermula 1 November 2023 iaitu selepas pengapungan harga ayam oleh kerajaan. Sehingga kini 140 premis telah dipantau di peringkat peruncit dalam memastikan harga barangan bagi ayam adalah munasabah di peringkat pasaran. Terima kasih.

Speaker

Jemput Parit Raja.

Puan Nor Rashidah binti RamliUMNO · BNParit Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Izinkan Parit Raja ucap terima kasih dan tahniah atas Program Bazar Rakyat Agro Johor yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Machap, sangat memberi manfaat kepada rakyat. Pertanyaan Parit Raja, apa pula peranan peladang dalam membantu program-program seperti mengurangkan kos sara hidup sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh FAMA yang telah diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor? Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti jawapan awal saya tadi mengatakan bahawa agensi utama yang memainkan peranan untuk membantu kos sara hidup rakyat terutama mendapatkan hasil-hasil ataupun barang-barang dengan harga yang terbaik adalah FAMA. Namun, saya sebutkan juga bahawa terdapat agensi lain yang membantu, dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup ini. Saya sebutkan di awal tadi Jabatan

Pertanian, Veterinar dan antara juga jabatan yang membantu ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Cumanya Yang Berhormat, saya tidak dapat letakkan secara detail apa yang dijalankan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang cuma mereka yang menjadi Ahli Pertubuhan Peladang biasanya mempunyai kemudahan atau keistimewaan khas yang boleh mereka perolehi di setiap PPK masing-masing. Jadi, termasuklah jika berlaku kemusnahan akibat bencana, PPK atau LPP menyediakan beberapa kemudahan untuk mengganti ataupun memberi sumbangan atas peralatan ataupun tanaman yang musnah akibat bencana. Lain-lain bantuan insya-Allah, saya akan berikan secara bertulis kepada Yang Berhormat Parit Raja. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Puteri Wangsa. Pemanis hendak tanya soalan tambahan. Jemput Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya kira ini soalan yang baik untuk rakyat memandangkan hari ini ramai golongan B40 yang memang mengharapkan kerajaan negeri untuk terus membantu mereka terutamanya bila berkaitan dengan kos sara hidup. Berdasarkan penerangan daripada Yang Berhormat EXCO sebentar tadi, adakah kerajaan bercadang untuk meneruskan lagi program-program yang disebutkan melalui FAMA, Peladang dan sebagainya ini mungkin dengan penambahbaikan daripada kita asyik beri sahaja kepada mereka-mereka ini, mungkin ada kaedah memberikan dalam bentuk pekerjaan terutamanya kepada golongan B40 ini? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan daripada Pemanis saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana telah maklumkan bahawa pada hari ini Jabatan Pertanian Negeri Johor akan mengadakan promosi buah-buahan tempatan di ruang legar di bawah (Dewan bertepuk). Sebenarnya, ia penambahbaikan juga daripada apa yang telah kami lakukan dua kali sebelum ini, iaitu sebelum ini hanya mempromosikan buah durian sahaja tetapi hari ini akan melibatkan beberapa lagi buah-buahan tempatan untuk dinikmati oleh Yang Berhormat dan seisi Dewan, insya-Allah.

Dan, bagi menjawab juga soalan Pemanis penambahbaikan kepada jualan atau Bazar Rakyat Agro Johor atau BRAJ ini saya bagi pihak Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang dalam pembentangan bajet tempoh hari telah mengumumkan bahawa akan memberikan peruntukan RM5 juta atas program ini. Dan, untuk makluman Yang Berhormat Pemanis bahawa jumlah yang diumumkan sebanyak RM5 juta ini bukan hanya tertumpu kepada jualan Bazar Rakyat Agro Johor ini atau BRAJ ini sahaja tetapi ia akan dilebar, diperluaskan lagi dalam beberapa perkara dan ianya sedang diperhalusi oleh pihak jabatan.

Dan seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pemanis tadi, antara perkara yang dalam penelitian kami untuk diperincikan ialah pertama, meneruskan jualan Bazar Rakyat Agro Johor ini di kawasan-kawasan semua kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang pertama. Yang keduanya, kami akan memperluaskan jualan ini di premis-premis jualan lain yang melibatkan pasar raya dan sebagainya. Yang ketiganya ia akan dijalankan di musim-musim perayaan, termasuk Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya. Dan, saya percaya dengan penambahan daripada RM800,000.00 ke RM5 juta ini ada banyak perkara yang akan kerajaan berjaya lakukan untuk membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup. Apa pun saya harap sangat agar Ahli-Ahli Yang Berhormat akan berbincang dengan pegawai FAMA di peringkat daerah masing-masing supaya pastikan jualan Bazar Rakyat Agro Johor ini sesuai dengan tempatnya. Kita tak nak jualan Bazar Rakyat Agro Johor ini misalnya dijalankan di tengah-tengah bandar, di pekan, yang di situ ada banyak

pasar raya atau premis-premis jualan. Tetapi ia lebih baik dijalankan di FELDA, di kampung-kampung tradisional, kampung Orang Asli misalnya supaya mencapai matlamat dan tujuan asal Bazar Rakyat Agro Johor ini untuk memberi rakyat yang terkesan dengan harga yang terbaik. Terima kasih Pemanis, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.

Adakah Kerajaan Negeri Johor akan merancang inisiatif negeri dan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menaik taraf Program Pemulihan Dalam Komuniti di Johor untuk membangun komuniti OKU di negeri Johor?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Puteri Wangsa. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan yang diutarakan kepada saya adalah adakah Kerajaan Negeri Johor merancang inisiatif negeri dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menaik taraf Program Pemulihan Dalam Komuniti di Johor dan untuk membangun komuniti OKU di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin kepada golongan OKU dan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan OKU itu terpelihara.Sehubungan dengan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi OKU dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan jagaan, perlindungan, pemulihan, latihan serta peluang pekerjaan kepada OKU di samping menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat melalui pengintegrasian dan pembangunan Orang Kurang Upaya.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan peruntukan Program Pemerkasaan Ekonomi kepada 31 buah pertubuhan PDK untuk menjalankan projek penjanaan ekonomi di PDK-PDK di mana ianya melibatkan pelatih-pelatih OKU. Program Pemerkasaan Ekonomi ini adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan OKU itu yang terlibat di dalam program. Program ini dijalankan di mana PDK bukan sahaja berperanan sebagai tempat memberikan latihan dan kemahiran asas kepada pelatih tetapi juga menyediakan tempat untuk menjana pendapatan melalui projek-projek penjanaan ekonomi, menghasilkan produk-produk PDK.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga kini seramai 164 orang pelatih PDK di seluruh negeri Johor sedang mengikuti projek penjanaan ekonomi di 33 buah PDK di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, program PDK ini merupakan satu strategi dalam pembangunan komuniti dan orang istimewa yang hadir di PDK ini bukan sahaja menerima elaun khas, tetapi juga menerima pelbagai manfaat daripada program yang dilaksanakan seperti mempelajari kemahiran kendiri, menjana pendapatan dan aktiviti integrasi bersama masyarakat setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker sehingga bulan Oktober 2023, seramai 2,376 OKU telah mendapat manfaat daripada 72 buah PDK di seluruh negeri Johor dengan seramai 72 orang penyelia dan 348 orang petugas PDK.

Yang Berhormat Datuk Speaker dalam memastikan OKU ini menjalani program PDK dalam suasana yang selesa, kerajaan negeri melalui JKM telah menyalurkan pelbagai bentuk

peruntukan bantuan kewangan kepada pengoperasian dan premis PDK di negeri Johor setiap tahun.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, berikutan bencana banjir yang berlaku sebelum ini, beberapa buah PDK di daerah yang terjejas banjir mengalami masalah yang sama dan kerosakan harta benda terutama bangunan, peralatan, dokumentasi dan bahan mengajar. Pihak PDK boleh mengemukakan permohonan pembaikan bangunan jika mengalami kerosakan teruk yang perlu dibaiki kepada kerajaan negeri melalui JKM. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini bahawa jumlah peruntukan dan bilangan PDK yang terlibat dalam kerja-kerja yang menaik taraf dan penyelenggaraan maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, dan pembaikan di PDK pada tahun 2021 hingga 2023 adalah:

1. Tahun 2021 - 22 buah yang melibatkan RM790 ribu; 2. Tahun 2022 - 23 buah PDK melibatkan RM1,500,000; dan 3. Tahun 2023 - 11 buah melibatkan RM720,000.00

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Err.. Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO atas penjelasan terutama sekali tentang kos penambahbaikan (tersedak)... minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, bangunan-bangunan di PDK-PDK di serata Johor.

Soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan PDK ini adalah diuruskan oleh komuniti setempat sekiranya kerajaan negeri ada juga bantu dari segi kos pengoperasian PDK dan juga memperkasakan lagi komuniti setempat untuk terlibat sama dalam operasi PDK. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor amat prihatin dengan golongan OKU khususnya anak-anak di PDK. Untuk makluman Yang Berhormat, kos operasi PDK telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan melalui bantuan kewangan bagi menampung elaun penyelia dan petugas yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi di PDK. Penyelia PDK telah menerima sagu hati elaun sebanyak RM1,400.00 sebulan, mana kala setiap petugas menerima sagu hati elaun sebanyak RM1,200.00 sebulan daripada kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri melalui JKM telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih PDK di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker bermula tahun 2015, setiap penyelia dan petugas telah menerima elaun tambahan dari kerajaan negeri sebanyak RM200.00 sebulan.

Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap penyelia dan petugas menerima Bantuan Khas Kewangan melalui pengumuman oleh kerajaan negeri dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM4,771,000.00 dari tahun 2016 hingga 2023. Berikut adalah pecahan jumlah Bantuan Khas Kewangan bagi tahun 2016 hingga 2022:

1. Tahun 2016 - RM1,500.00 dengan penerima 422 orang sebanyak RM633,000.00; 2. Tahun 2017 - RM1,000.00 seorang dengan seramai 427 penerima melibatkan RM427,000.00; 3. Tahun 2018 - RM1,000.00 untuk seramai 447 penerima dengan RM447,000.00; 4. Tahun 2019 - RM1,500.00 dengan 448 penerima, RM672,000.00;

5. Untuk tahun 2020 - RM2,000.00 untuk penerima seramai 430 orang dengan RM860,000.00; 6. Untuk tahun 2021 - RM2,000.00 dengan penerima 433 orang dengan RM866,000.00; 7. Tahun 2022 - RM2,000.00 juga dengan 433 penerima dan jumlah keseluruhan adalah jumlahnya adalah RM866,000.00, penerima adalah seramai RM3,040.00 melibatkan RM4,771,000.00.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker serta Ahli Dewan yang mulia ini, bahawa bantuan khas kepada petugas PDK tahun 2020 hingga 2022 dibayar mengikut pecahan berikut berdasarkan Arahan Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri. Pertama, pembayaran pertama sebanyak RM1,000.00 dibayar pada awal tahun dan pembayaran kedua RM1,000.00 dibayar seminggu sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya sila Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Berkenaan dengan pemerkasaan atau penjanaan ekonomi untuk PDK Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tangkak adalah saya bagi contoh di PDK Tangkak dan saya percaya di banyak PDK-PDK, mereka mendapatkan produk-produk yang diusahakan oleh pelatih-pelatih. Seperti di Tangkak, kita ada kuih bahulu, kita ada barangan jahitan dan pelbagainya.

Jadi soalan tambahan dari Tangkak adalah apakah bantuan-bantuan seperti pemasaran, mempromosikan ataupun bantuan dari segi peralatan yang akan diberi kepada PDK-PDK supaya Tangkak masih ingat sebelum ini ada Program Satu PDK Satu Produk. Jadi kalau ada bantuan sebegini, minta YB EXCO kalau boleh kongsikan maklumat terperincinya. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Tangkak. Terima kasih Datuk Speaker.

Saya menyambut baik soalan yang diberikan daripada Yang Berhormat Tangkak tentang soalan Program Satu Komuniti Satu PDK.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tidak ada data itu pada pagi ini. Saya akan hantarkan kepada Yang Berhormat Tangkak untuk memberikan sepenuh penjelasan berkenaan tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan Bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Datuk Speaker. Soalan saya nombor 8. Terima kasih.

Berapakah jumlah kutipan zakat di negeri Johor dan apakah strategi pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi memberi pemahaman kepada masyarakat tentang kepentingan pembayaran zakat selain zakat fitrah serta fidyah.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Gambir bertanyakan tentang kutipan terkini zakat di Johor dan apakah strategi yang digerakkan oleh Majlis Agama Islam bagi menyebarkan pemahaman dan kepentingan membayar zakat kepada masyarakat.

Zakat merupakan salah satu Rukun Islam yang mana ia merupakan tanggungjawab umat Islam apabila telah mencukupi syarat-syaratnya. Syarat wajib zakat adalah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup haul dan cukup hisab. Dewan yang mulia, jumlah kutipan zakat setakat semalam 29.11.2023 adalah sebanyak RM298,323,751.00 bersamaan dengan 81.61% daripada sasaran sebanyak RM358,362,022.00 bagi tahun 2023. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM283,000,000.00 telah diagihkan kepada 8 pecahan asnaf yang lain. Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor juga sentiasa komited di dalam memberi pemahaman berkaitan kewajipan berzakat khususnya kepada umat Islam di negeri Johor. Antara pelaksanaan yang dibuat ialah memperbanyakkan kaedah saluran pembayaran zakat sama ada secara fizikal di kaunter ataupun melalui amil juga dalam talian. Selain itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor melantik beberapa rakan kutipan zakat bagi tujuan dakwah dan menerima zakat bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor seperti Amil Zakat Harta, Amil Zakat Korporat dan Amil Zakat Institusi. Setakat ini, 2,170 Amil telah dilantik meliputi Amil Fitrah, Amil Zakat, Amil Agihan dan Amil Korporat.

Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor juga telah mengatur dan menjalankan Program Barakah Zakat bagi tahun ini bagi tujuan pemahaman zakat kepada masyarakat. Pelbagai pengisian dan perancangan telah pun dibuat sepanjang Kempen Bulan Zakat pada tahun ini. Antaranya:

1. Ziarah Mesra Muzakki iaitulah kita hadir ke premis/lokasi pembayar zakat termasuk mempromosikan produk mereka;

2. Jejak Niaga iaitulah kita hadir ke premis-premis peniaga serta berkongsi dengan peniaga berkaitan kewajipan berzakat;

3. Kita juga mengadakan Program Zakat Di Hati Bersama Komuniti iaitu program bersama komuniti setempat di antara pengisiannya tazkirah, edaran risalah, kaunter zakat dan pelbagai program yang bertemakan zakat;

4. Virtual Tour - bersiaran secara langsung di media sosial Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi menerangkan skim-skim bantuan zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor;

5. Program 2 minggu 1 zakat iaitulah memberi penerangan secara berfokus mengikut jenis-jenis zakat;

6. Podcast Talk - membicarakan isu-isu semasa zakat dengan kerjasama Akademi Zakat;

7. Kembara Zakat – ziarah ke sepuruh daerah negeri Johor bagi maksud menyebarkan pemahaman tentang zakat;

8. Door to door - memberi penerangan zakat secara terus kepada individu;

9. University talk - kerjasama dengan universiti bagi memberi penerangan khusus kepada kakitangan universiti; dan juga

10. Detik 2024 iaitulah satu program Sambutan Malam Tahun Baru tapi dengan pengisian zakat dari Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin berkongsikan data tentang betapa kesedaran wujud di kalangan orang Islam tentang pembayaran zakat. Bagi tahun lepas, zakat yang dikutip di negeri Johor adalah sebanyak RM379,830,143.00 dan pada tahun ini kita mensasarkan kutipan yang lebih tinggi Yang Berhormat Datuk dan kita yakin kita dapat melaksanakan. Terima kasih.

Tuan Sahrihan Bin JaniUMNO · BNGambir

Soalan tambahan.

Speaker

Ya sila Gambir.

Tuan Sahrihan Bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO di atas jawapan yang telah pun diberikan. Tahniah kepada kerajaan negeri yang telah pun mencatatkan kutipan zakat yang tinggi 80% lebih. Cuma soalan daripada Gambir ataupun pertanyaan daripada Gambir adalah zakat itu bukan sahaja tanggungjawab malah merupakan kewajipan kita sebagai orang Islam dan adakah pihak kerajaan negeri mempunyai apa-apa cadangan untuk menguatkuasakan kutipan cukai ini melalui kuasa undang-undang sebagaimana yang dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam soal menguatkuasakan kutipan cukai, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Benar Yang Berhormat Datuk Speaker, kewajipan zakat ini memang merupakan satu kefarduan, malah Allah SWT sebut dalam surah Az-zariyat ayat 19, “pada dalam harta benda mereka itu ada hak orang miskin yang meminta dan orang-orang miskin yang tidak meminta”.

Saya gembira bila mana Yang Berhormat Gambir sebutkan tentang usaha kita memperbanyakkan kutipan zakat melalui kuat kuasa perundangan bahkan saya nak berkongsi Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa kuasa memungut dan mengeluarkan zakat fitrah ke atas orang Islam yang wajib ke atasnya bayaran zakat memang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor bawah Seksyen 86 dan 87 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor. Dari sudut penguatkuasaannya, bayaran zakat ini pula Seksyen 16 dan Seksyen 17(2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau gagal bayar zakat, memang ada hukumannya bagi mereka yang enggan termasuk zakat fitrah.

Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 juga menyatakan mana-mana orang yang wajib bayar zakat Yang Berhormat Datuk Speaker ataupun fitrah, tapi tak mahu bayar dengan sengaja atau enggan membayarnya melalui amil yang dilantik, kadang-kadang Yang Berhormat Datuk Speaker dia nak bayar tapi dia bayar sendiri dia jumpa terus orang miskin dia bagi terus. Soalannya, boleh tak dia buat kat Johor, tak boleh Yang Berhormat Datuk Speaker. Johor ada undang-undang yang kemas, kena dihormati, maka bayar kepada amil zakat yang dilantik. Jangan mandai-mandai terus kepada fakir miskin yang kita yakin orang tu betul. Pihak berkuasa dah dilantik, maka uruskan dengan pihak berkuasa.

Apa dia punya hukuman Yang Berhormat Datuk Speaker kalau kita bayar tak ikut peraturan? Dia boleh didakwa dan mungkin didapati bersalah dan jika sabit kesalahan Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh kena denda RM1,000.00 atau penjara tak lama tempoh lebih 6 bulan atau kedua-dua. Maka, jangan sampai kena tindakan maka bayar zakat pada yang berhak dibayar penguat kuasanya supaya sampai kepada mereka yang berhak menerimanya.

Seksyen 17(2) Enakmen yang sama pula Yang Berhormat Datuk Speaker disebut, mana-mana orang yang dengan apa cara mencegah orang lain daripada membayar zakat. Ini masalah Yang Berhormat Datuk Speaker, orang nak bayar zakat tapi ada pula pihak lain yang mencegahnya ini pun kesalahan. Kalau sabit kesalahan Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh kena denda tak lebih RM2,000.00 atau penjara selama tak lebih satu tahun atau kedua-duanya. Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah 1997 juga memperuntukkan kesalahan dan hukuman bagi mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau

menyebabkan dipungut zakat itu tanpa kuasa, ini pun boleh tahan juga masalahnya. Tak ada kuasa tapi agaknya dia rasa dia hebat dia orang agama ataupun ustaz dia pandai-pandai kutip sendiri, ini pun tak boleh Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau orang macam ini kita boleh kenakan hukuman kalau dia salah, hukuman denda tak lebih RM3,000.00 atau dipenjarakan tak lebih dua tahun atau kedua-dua.

Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita harap tak adalah tindakan penguatkuasaan kita buat. Sebab kami yakin Yang Berhormat Datuk Speaker, Majlis Agama Islam meneruskan tanggungjawabnya memberi penerangan dan penerangan ini berterusan bahkan dipelbagaikan kaedah penyerahan dan agihan Yang Berhormat Datuk Speaker supaya orang yang membayar zakat dia nampak zakat yang dibayar diserahkan kepada mereka yang berhak dengan menggunakan pendekatan, pendekatan terkini supaya nampak menarik orang lain untuk membayar zakat pada tahun-tahun yang berikutnya.

Insya-Allah tapi Yang Berhormat Datuk Speaker kalau dapat sebarang aduan, pertama orang yang tak nak bayar zakat, kedua, yang kutip zakat mandai-mandai, ketiga, yang agih zakat mandai-mandai ni pun kita harap YB-YB ADUN semua boleh melaporkan kepada kita, kepada Pejabat Kadi, kepada Amil Baitulmal dan nanti insya-Allah tindakan susulan dapat dilaksanakan. Tapi saya yakin Yang Berhormat Datuk Speaker, kaedah pendidikan lebih afdal diutamakan berbanding penguatkuasaan pada waktu ini. Wallahualam. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Semerah, setakat ini ada ke mereka yang didakwa kerana tidak membayar zakat?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Alhamdulillah Yang Berhormat Datuk Speaker, setakat ini tidak ada aduan itu tapi saya sebutkan tadi sekiranya kita dapat menemui aduan, siasatan akan dibuat sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Selamat pagi, salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bekok nombor 9, terima kasih.

Setiap tahun dalam belanjawan Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sejumlah peruntukan pembangunan Kampung Baru di dalam negeri Johor. Berapakah jumlah peruntukan bagi tahun 2023 yang telah dibelanjakan kepada DUN Bekok bagi pembangunan Kampung Baru?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Ok terima kasih Datuk Speaker, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada Bekok dengan berbunyi, setiap tahun dalam belanjawan Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sejumlah peruntukan pembangunan Kampung Baru di dalam negeri Johor. Berapakah jumlah peruntukan bagi tahun 2023 yang telah dibelanjakan kepada DUN Bekok bagi pembangunan Kampung Baru?

Yang pertama saya ingin membetulkan soalan tersebut. Yang pertama, Kerajaan Negeri Johor tidak menyediakan peruntukan bagi pembangunan Kampung Baru dan segala peruntukannya telah, yang negeri Johor terima adalah turun daripada kerajaan pusat.

Dan pada tahun 2022, peruntukan pembangunan bagi Kampung Baru dalam negeri Johor disalurkan melalui Kementerian Perpaduan Negara dengan jumlah RM13,384,100.00 dengan jumlah projek yang telah diluluskan adalah 162 projek yang telah dilaksanakan dalam 123 Kampung Baru dalam negeri Johor.

Dan bagi tahun 2023 pula, bagi DUN Bekok di Kampung Baru Bekok, ada dua projek telah diluluskan berjumlah RM381,850.00; bagi Kampung Baru Labis ada satu projek diluluskan dengan jumlah kos RM200,000.00; bagi Kampung Baru Chaah ada dua projek telah diluluskan dengan jumlah RM400,000.00 dengan jumlah keseluruhan RM981,850.00. Dan, dalam tahun 2023 sejumlah 90 projek yang telah diluluskan oleh pihak KPKT dengan jumlah peruntukan RM13.5 juta. Sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tiram, Bekok. Sila Bekok.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Pekan Nanas soalan tambahan.

Speaker

Eh, maafkan saya Pekan Nanas, minta maaf. Sila, sila.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Ok, ok. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO bagi jawapan yang jelas. Saya dapati maklumat Kampung Baru Daerah Pontian dan Muar tidak dapat peruntukan Kampung Baru. Soalan Pekan Nanas ingin tahu proses permohonan peruntukan Kampung Baru, jika tidak dapat disalurkan, mohonlah kerajaan negeri untuk berikan peruntukan kecemasan kepada Ketua Masyarakat Kampung Baru. Terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih DUN Pekan Nanas. Pada tahun 2022, peruntukan Kampung Baru diuruskan oleh Kementerian Perpaduan malahan pada tahun 2023 ini tanggungjawab ini telah dialihkan daripada Kementerian Perpaduan ke Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Dan tahun ini, saya juga dapat maklumat yang sama dengan Yang Berhormat Pekan Nanas ada dua daerah, Kampung Baru dalam dua daerah tidak dapat peruntukan tersebut. Saya juga merasa pelik dan dengan ketidakseimbangan pengagihan peruntukan tersebut dan mudah-mudahan saya akan berhubung dengan pihak KPKT supaya mendapat maklumat yang lebih lanjut.

Kalau mengikut prosedurnya, cara permohonan projek Kampung Baru adalah mudah. Yang pertama perlu dapat cadangannya daripada Ketua Masyarakat Kampung Baru lepas tu diserahkan kepada Pegawai Kemajuan Perkampungan yang dilantik oleh KPKT. Mereka akan key-in dalam sistem selepas itu kelulusan daripada pihak KPKT. Selepas kelulusan daripada pihak KPKT, agensi pelaksanaan adalah kepada JPKK sendiri. Sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tiram.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 10.

Bagaimanakah pencapaian Friendly Johor 2.0, Johor Go Global 2.0 pada tahun 2023? Berapakah nilai pelaburan yang berjaya ditarik melalui inisiatif-inisiatif ini ke dalam negeri Johor?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Promosi, usaha promosi pelaburan yang secara berterusan adalah penting untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan usaha memaparkan iklan digital di kawasan strategik seperti lapangan terbang dan juga KLIA Train melalui Program Johor Go Global 2.0 adalah dapat mempromosikan negeri Johor sebagai destinasi utama pelaburan dalam negara memandangkan ia merupakan satu cara yang efektif untuk mencapai audiens yang bergerak atau pelancong yang sedang menunggu pengangkutan. Manakala Program Friendly Johor 2.0 pula merupakan inisiatif untuk

mempromosikan negeri Johor dan Invest Johor sebagai agensi fokus pelaburan di negeri Johor melalui seminar domestik dan juga yang dapat memperkuatkan lagi hubungan dengan pelabur domestik serta mendapatkan pandangan pihak industri domestik.

Bagi tahun 2023, program ini telah pun dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah dan juga Pulau Pinang. Hari ini, Johor merupakan salah satu negeri yang mempunyai peluang potensi pelaburan yang besar di Malaysia kerana lokasi sekitar yang strategik berhampiran dengan Singapura dan mempunyai infrastruktur asas dan rangkaian logistik yang baik seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Nilai pelaburan yang dapat ditarik melalui inisiatif-inisiatif promosi sebegini tidak dapat diukur dengan spesifik namun mengikut statistik daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2023, negeri Johor telah meraih pelaburan komited sebanyak RM14.23 bilion. Jumlah projek yang diluluskan adalah 422 yang dijangka dapat mewujudkan 6,898 peluang pekerjaan. Mengikut trend kemasukan pelaburan, Kerajaan Negeri Johor menjangkakan sektor pelaburan akan terus berkembang dengan pesat dan ia akan dicerminkan dalam statistik penuh bagi tahun 2023. Sekian terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Sri Medan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11.

Apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor dalam memantapkan kepimpinan di kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Sri Medan, apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor dalam memantapkan kepimpinan di kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan latihan kepimpinan muda murid di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya bagi murid negeri Johor adalah berterusan demi memastikan negeri Johor mempunyai pelapis pemimpin muda yang berkualiti.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Johor merupakan satu-satunya Jabatan Pendidikan Negeri yang telah berinisiatif sendiri dalam melaksanakan model latihan kepimpinan muda murid yang berstruktur dan yang eksklusif seawal peringkat sekolah rendah melalui penubuhan Student Leader Board (SLB) di semua sekolah rendah dan menengah seluruh negeri Johor. Latihan berstruktur ini dilanjutkan dengan penubuhan District Student Leader Board (DSLB) di peringkat daerah yang mempunyai 20 hingga 40 orang ahli pemimpin muda yang terpilih. Manakala di peringkat negeri pula, JPN Johor mempunyai barisan kepimpinan muda murid Johor Student Leaders Council (JSLC) yang terdiri daripada 20 orang murid, pemimpin muda murid trampil yang telah melalui proses pemilihan semasa di tingkatan 3. JSLC yang kini sudah menjangkau 13 tahun penubuhannya sudah melahirkan 11 kohort pemimpin muda yang terlatih berjumlah 214 orang alumni.

Sehingga November 2023, terdapat 25 siri latihan dan kem kepimpinan muda yang melibatkan latihan kepimpinan di peringkat daerah dan negeri. Siri-siri Kem Kepimpinan Muda Murid seperti J-Camp, J-Lead, SLB Thinkers dan SLB Walk Girl Talk yang telah memanfaatkan hampir 14,945 orang pemimpin muda murid student leaderboard ini di sekolah menengah dan sekolah rendah dalam negeri Johor membuktikan komitmen tanpa

berbelah bahagi Kerajaan Negeri Johor untuk memantapkan lagi kepimpinan dalam jiwa anak-anak Bangsa Johor ini. Sejurus tamat latihan kepimpinan muda JSLC ini pemimpin muda murid terlatih ini akan dihimpun di bawah persatuan NGO berdaftar JSLC alumni yang giat melaksanakan aktiviti latihan kempimpinan berterusan dalam kalangan ahlinya. Bagi peringkat mahasiswa Johor pula, di bawah kelolaan Yayasan Pelajaran Johor, duta mahasiswa Johor merupakan sebuah program yang dijalankan bagi memberi peluang dan ruang kepada mahasiswa untuk menjadi agen kepada perubahan masyarakat.

Program ini berbentuk serampang dua mata di mana fungsinya adalah mahasiswa itu sendiri bertindak untuk melaksanakan projek-projek yang berimpak tinggi mengikut teras yang dijalankan dan mampu memberi manfaat dan impak yang positif juga kepada masyarakat. Sebagai contoh, kumpulan mahasiswa Johor merangka modul keusahawanan sosial bagi memaksimumkan potensi masakan ibu tunggal seperti ayam masak kicap, ayam sambal dan daging masak hitam untuk dijadikan produk yang mempunyai nilai tambah ekonomi. Projek kumpulan mahasiswa Johor ini melibatkan pembangunan produk, latihan, pembungkusan dan penjanaan pendapatan yang mana mereka buat sendiri. Antara pelan-pelan masa hadapan yang dirancang adalah seperti duta mahasiswa sebagai penggerak kepada komuniti yang lebih baik duta mahasiswa juga mampu menjadi agen perubahan masyarakat, duta mahasiswa menjadi job creater kepada mahasiswa dan masyarakat setempat dan produk dan perkhidmatan yang dijalankan mampu dijual dan mendapat nama di negeri Johor seterusnya di peringkat kebangsaan. Sekian terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, memang susah hendak diramal. Soalan saya boleh naik pada hari ini. Saya pun tidak tahu kenapa YB EXCO Pendidikan sahaja jawab soalan saya. Terima kasih saya, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada YB EXCO yang sudi untuk menjawab soalan-soalan yang saya beri kepada pihak Jurutulis walaupun banyak ini hari terakhir YB EXCO sahaja yang sudi menjawab soalan saya. Terima kasih atas jawapan, lepas ini minta tolonglah bagi secara bertulis eh semua. Saya tengok panjang jawapan dia.

Soalan saya ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, perancangan Kerajaan Negeri Johor dalam memantapkan kepimpinan di kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa. Saya mengandaikan pemimpin ini di sekolah atau di sekolah rendah atau sekolah menengah ini dia yang rasmi ada yang tidak rasmi. Yang rasmi itu macam Ketua Pengawas, mungkin Ketua Darjah, Ketua Tingkatan, Ketua Pustakawan. Yang tidak rasmi ini kadang dia ada yang underground ini. Underground ini dia macam kumpulan-kumpulan tertentulah. Sebab itu saya hendak memaklumkan pada Dewan, sekolah-sekolah ini bila saya sebut nama sekolah ini dia suka. Ada sekolah menengah ini di kawasan DUN Sri Medan ni ada empat. Empat buah iaitu Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu Saat, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Medan dan juga Sekolah Menengah Agama Parit Sulong. Ingat, Sekolah Menengah Agama Parit Sulong semalam masa tandas itu, dia tidak dapat tau. Jadi, kena rekodkan minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang mana empat-empat sekolah ini selain daripada kita ada pemimpin di kalangan pelajar-pelajar sekolah, mereka mewujudkan satu kumpulan-kumpulan macam ultras, saya difahamkan mereka ada peruntukan diberi kepada tiap-tiap sekolah ini untuk mereka yang tidak berminat untuk menjawat jawatan sebagai Ketua Pengawas, Ketua Tingkatan tetapi mereka kumpulkan dalam satu kumpulan lain. Kerana kita kena faham, anak-anak ini dia bukan semua sama. Dia bukan semua pandai, bukan semua yang suka dengan aktiviti yang berasaskan di pihak sekolah. Tetapi kaedah itu sebenarnya baik, kerana secara tidak langsung bila saya tengok di sekolah, ada satu sekolah itu, mereka boleh menunjukkan disiplin yang baik. Dengan pakaian kemas, pakaian rambut, dengan rambut pendek, itu salah satu yang saya nampak boleh beri kesan kepada pelajar-pelajar yang bukan berminat untuk menjadi pemimpin secara rasmi. Jadi, saya cadangkan kepada pihak kerajaan agar ada memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti seperti ini dan juga mungkin ada contoh macam

ada Southern Volunteers, itu pun boleh membantu untuk kita melahirkan lebih ramai pemimpin di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Terima kasih.

Speaker

Ada hendak jawab ke?

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Ini saya, terima kasih atas cadangan tadi, saya pun tak pasti pun kenapa saya kena jawab soalan dari Sri Medan ini. Kadang-kadang seram sejuk dengar soalan tambahan daripada Sri Medan. Kadang-kadang di luar jangka, tetapi untuk makluman Sri Medan bersama dengan mahasiswa sangat rapat kerana saya pernah bersama-sama dengan Sri Medan di Sekolah Menengah Sains Kluang dalam program saya tak ingat program apa tetapi komitmen daripada Sri Medan bersama-sama dengan mahasiswa sangat-sangat komited. Cadangan tadi saya tambah sikit lagi, untuk sekolah menengah dan sekolah rendah, Skuad Muda Southern Volunteers telah kita lancarkan pada tahun ini insya-Allah, ia tidak berfokus kepada pemimpin-pemimpin yang sedia ada tetapi ia lebih berfokus kepada murid-murid yang macam Sri Medan katakan tadi, yang kurang minat daripada segi kokurikulumnya, yang kadang-kadang dia jauh diri daripada pelajar-pelajar yang pandai jadi kita tarik mereka-mereka ini untuk tidak keciciran di masa akan datang. Dan, baru-baru ini juga pada awal tahun kita juga telah memfokuskan kepada pelajar-pelajar yang kurang, kurang minat dalam pelajaran di sekolah kita panggil baru, baru sekali kita buat, insya-Allah kita akan buat lagi dari masa ke semasa dan kita akan pastikan di negeri Johor ini tidak akan ada lagi pelajar-pelajar yang keciciran dan ketinggalan, insya-Allah. Sekian.

Speaker

Tahniah Sri Medan, rupanya juga pelajar pandai. Saya dahulu sekolah biasa sahaja.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Yang Berhormat Datuk Speaker satu...

Yang Berhormat Datuk Speaker,

Speaker

Eh, tak payahlah nak jawab.

Tak ada, saya semalam Yang Berhormat Datuk Speaker, saya hendak menggunakan pula Peraturan 26(5). Semalam saya...

Speaker

Tolong baca.

Peraturan 26(5), seorang Ahli boleh mendatangkan satu tambahan soalan bagi maksud hendak menerangkan lagi sesuatu perkara yang telah diberi jawab mulut. Itu tetapi soalan tambahan saya itu tidak boleh sekali digunakan kerana menerbitkan suatu perkara baharu yang tidak termasuk soal yang asal itu. Jadi, saya boleh menambah soalan tambahan jika saya tidak faham tetapi tidak boleh lari daripada soalan asal.

Speaker

Saya tak benarkanlah Yang Berhormat.

Ok, saya...

Speaker

Jemput Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya juga hendak sebut

bahawa saya sebenarnya merupakan produk daripada Johor Student Leaders Council dan juga merupakan Presiden Alumni pertama Johor Student Leaders Council dan, terima kasih. Dan, sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker, sewaktu kami menjaga alumni kita ada buat satu data base untuk kita lihat prestasi setiap alumni JSLC dan juga di mana mereka sekarang. Dan, malangnya kebanyakan daripada produk JSLC ini mereka tidak memilih untuk kembali bekerja dalam negeri Johor. Jadi, soalan saya kepada Yang Berhormat EXCO, sekiranya kerajaan negeri ada apa-apa perancangan untuk memastikan bahawa alumni daripada produk, daripada program yang cukup bagus ini kembali berkhidmat di negeri Johor. Sebagai contohnya, dahulu kita ada cadangkan sistem perintis untuk pastikan alumni ini bekerja dengan syarikat-syarikat besar yang sedia ada dalam negeri Johor sebagai contohnya. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada Puteri Wangsa tadi, suka sangat saya hendak jawab berkaitan dengan soalan tadi berkaitan dengan JSLC, YB pun merupakan alumni kohort pertama, insya-Allah YB dan sidang Ahli Dewan kita bersama-sama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menghimpunkan semula JSLC ini untuk kita tengok balik hala tuju JSLC ini bagaimana kerana kita tak nak program-program seperti-seperti ini hanya program-program yang apa, hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jadi, untuk tahun ini kita dah panggil guru pembimbing dan JSLC itu sendiri dan kohort yang terbaru ini juga untuk kita pastikan mereka ini sealiran dengan kerajaan negeri dan kita akan bawa semula mereka-mereka ini bila dah berjaya nanti berkhidmat semula kepada kerajaan negeri, insya-Allah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Stulang.

YB Tuan Chen Kah Eng (Stulang) :nYang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Adakah kerajaan negeri akan mempertimbangkan pembinaan PPR jenis studio pada masa depan atau meneliti semula syarat penyewaan PPR agar mereka yang tidak berkeluarga layak menyewa rumah PPR?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Soalan Yang Berhormat Stulang berbunyi apakah kerajaan negeri akan mempertimbangkan pembinaan PPR jenis studio pada masa hadapan. Studio ini dia tak ada bilik dia satu ruang tamu dan toilet. Meneliti semula syarat penyewaan PPR agar mereka yang tidak berkeluarga layak menyewa rumah PPR.

Yang Berhormat Datuk Speaker, cadangan Yang Berhormat Stulang berkenaan PPR jenis studio dan ditawarkan kepada golongan bujang adalah sangat baik. Namun, sebagai makluman isu yang dipohon untuk dipertimbangkan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan negeri boleh mengesyorkan kepada KPKT cadangan yang baik ini sekiranya terdapat permintaan yang genuine berkenaan konsep sedemikan namun masih tertakluk kepada budi bicara persekutuan untuk dipertimbangkan. Terima kasih.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih atas jawapan yang diberikan dan selain saya rasa isu ini sangat penting, saya rasa kita sama-sama boleh menggerakkan agar ia boleh dilaksanakan dan selain studio, saya rasa kita juga boleh mencadangkan agar PPR yang dibina itu berbentuk dual key. Maksudnya dia ada satu studio ataupun satu bilik sambung dengan satu lagi unit dua bilik, maknanya dia tidak membazir. Kalau kita sewa kepada mereka yang sebatang kara atau bujang, nanti kalau dia tak sewa maksudnya kosong. Kalau kita hendak jadikan unit itu balik kepada 3 bilik pun boleh juga. Maksudnya kalau dual key, maksudnya dia mahu satu bilik pun boleh, hendak dua bilik pun boleh,

hendak tiga bilik pun boleh. Saya rasa ini lebih flexible. Dan, saya rasa saya cadangkan juga pada masa depan kalau pembinaan PPR ini dengan jenis baru inilah boleh ambil kerjasama selain, selain kerajaan bina selain juga pemaju-pemaju juga boleh turut sama-sama membantu untuk membina. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada Yang Berhormat. Suka saya hendak memaklumkan bahawa setakat ini di Johor kita ada 13 PPR dan 7 RSK. RSK ini Rumah Sewa Kerajaan. PPR jumlah unit yang ada 11,511, ada 13 projek. RSK, Rumah Sewa Kerajaan, 3,050 unit, jumlah yang ada setakat ini 14,560. Saya ingin memaklumkan dalam Dewan yang mulia ini bahawa terdapat PPR yang dalam pembinaan. Yang pertama, Pasir Gudang, PPR Permas Jaya di PPR Cahaya Senibong, 400 unit. Kos keseluruhan RM87 juta, insya Allah hujung bulan depan akan diserahkan kunci.

Yang kedua, Parlimen Tebrau, Parlimen Tebrau ada PPR Ulu Tiram, 700 unit Q2 2024 akan dapat disiapkan, kos keseluruhan RM130 juta. Yang ketiga, Tenggara, PPR Tenggara, 400 unit. Yang ini Q2 2024 insya-Allah akan disiapkan, kos melibatkan kos RM81 juta. Di Pengerang, PPR kecil Pengerang 300 unit ini Q4 2024. Kita ada juga dua PPR lain termasuk PPR Masai, 330 unit dalam proses tender semula. PPR Sembrong Johor 400 unit, 2026 dijangka siap. Ini melibatkan kos PPR Masai tadi RM60 juta dan PPR Sembrong RM86 juta. Termasuk juga yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor iaitu PPR Larkin 300 unit, RM72 juta dan PPR Kluang 600 unit RM155 juta. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Soalan saya nombor 13.

Kedalaman muara Sungai Kuala Sedili yang semakin cetek perlu dilaksanakan segara dengan usaha mendalamkannya semula, untuk kepentingan dan keperluan nelayan-nelayan dan pihak Maritim.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Sedili. Yang Berhormat Datuk Speaker, kedalaman muara Sungai Sedili Besar diakui semakin cetek berpunca dari pergerakan sedimen secara semula jadi dari hulu ke muara sungai. Situasi ini bukan hanya berlaku di Sungai Sedili Besar tetapi di sepanjang pantai timur. Kalau kita tengokkan jeti-jeti di sepanjang pantai timur, kita ada banyak pergerakan sedimen dan kadang-kadang berpunca makin cetek berpunca, misal kata di Jeti Mersing, Jeti Tenggaroh dan juga Jeti Sedili Besar. Kos keseluruhan untuk menggali dan mengambil kos lebih kepada RM50 juta. Pihak JPS menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 telah memohon peruntukan pada tahun 2022. Namun, permohonan tersebut tidak berjaya. Sebagai inisiatif kerajaan negeri, JPS telah memohon melalui peruntukan RJ5T bagi melaksanakan kerja-kerja mendalamkan alur Sungai Sedili Besar. Jumlah kedalaman yang dicadangkan untuk menggali alur adalah sebanyak 40 meter dengan perbelanjaan sebanyak RM5 juta. Kerja-kerja awal kini dilaksanakan terlebih dahulu iaitu kerja ukur kejuruteraan melibatkan dimetric survey sebelum perolehan bagi kerja-kerja fizikal akan dilaksanakan. Namun untuk pengetahuan YB Sedili, kerja-kerja yang untuk mendalamkan alur bagi laluan bot adalah untuk melancarkan aktiviti-aktiviti nelayan dan juga pihak maritim. Namun disebabkan pergerakan sedimen secara semula jadi, kerja-kerja awalan ini hanya untuk beberapa tahun sahaja, dia short term solution. Tapi apa pun, JPS akan memohon kembali kepada RMK untuk kerja-kerja menggali secara keseluruhan di muara Sungai Sedili Besar. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan selama 20 minit sehingga jam 11.25 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.10 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.25 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sambungan perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Enakmen Perbekalan (2024) Tahun 2023 disambung sekarang. Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dijemput untuk 20 minit. Saya jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Sila.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terlebih dahulu patik merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November. Patik turut merafak sembah merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia atas sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik turut menjunjung setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Mudah-mudahan Piala Malaysia juga akan menjadi milik pasukan JDT. Tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor oleh Duli Yang Maha Mulia baru-baru ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ribuan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah pun mengambil bahagian dalam sesi soal jawab mahupun sesi perbahasan berkaitan dengan Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Sepanjang sesi sidang telah berlangsung. Dan berkaitan dengan usaha menarik pelaburan yang berimpak tinggi, menurut statistik daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia yang telah pun saya kongsi pada pagi ini daripada jumlah RM14.23 bilion untuk setengah tahun 2023, 3.347 bilion iaitu 23.5% adalah daripada sektor pembuatan. Manakala 10.884 bilion atau 76.5% adalah daripada sektor perkhidmatan. Jumlah projek yang diluluskan adalah 422 yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 6,898. Mengikut trend kemasukan pelaburan kerajaan negeri menjangkakan agak optimistik bahawa kita akan dapat mencapai satu keputusan yang agak baik apabila statistik penuh tahun 2023 diterbitkan. Dan untuk ini, terima kasih kepada semua penjawat awam, JCS dan juga persekutuan khususnya BPENJ, Invest Johor, PBT-PBT, MITI, MIDA, IRDA, JPDC, JCorp dan sektor swasta. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab soalan Yang Berhormat Perling yang belum dapat direkodkan dalam handsard Dewan Negeri semalam, sebab saya rasa soalan tersebut cukup penting yang berkaitan dengan rancangan kerajaan negeri untuk menyelaraskan strategi pelaburan dan perindustrian di Johor dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sempena pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Malaysia akan dan perlu memanfaatkan beberapa trend utama global supaya dapat mencapai sasaran berada dalam 30 ekonomi terbesar di dunia. Bagi negeri Johor, kita adalah antara negeri di Malaysia yang telah pun menyaksikan peralihan atau penstrukturan rantaian bekalan atau perindustrian di rantau ini. Akibat perang perdagangan Amerika Syarikat dan China di mana banyak syarikat antarabangsa telah mempercepatkan melaksanakan strategi China Plus One untuk mengukuhkan daya tahan dan kestabilan rangkaian bekalan mereka. Maksudnya, mereka

ada satu fasiliti pembuatan di China untuk pasaran domestik mereka dan untuk satu fasiliti lain di rantau ini untuk dibekalkan kepada seluruh dunia.

Oleh itu, kerajaan melalui Invest Johor telah membentangkan beberapa sektor fokus bagi negeri Johor ketika Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Industri yang dipengerusikan bersama oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan juga Yang Berhormat Menteri MITI pada Mei 2023 supaya mendapat perhatian dan juga sokongan kerajaan persekutuan dari segi polisi dan juga dari segi insentif. Antaranya adalah sektor elektrikal dan elektronik, sains hayat dan teknologi perubatan, pembuatan dan kejuruteraan termaju, economic digital, ekonomi hijau, sektor halal dan sektor automotif yang berkaitan dengan EV dan aeroangkasa, kimia dan petrokimia dan pelabuhan dan logistik.

Sektor-sektor fokus tersebut seperti ENE, economic digital dan aeroangkasa juga merupakan sektor yang dikenal pasti di bawah Aspirasi Pelabuhan Nasional dan juga Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 bagi mempertingkatkan lagi ketrangkuman dalam pengagihan hasil ekonomi negara. Seterusnya, inisiatif mampan dan pelepasan karbon bersih sifar global menjelang 2050 sudah menjadi trend arus perdana. Trend ini juga membuka peluang kepada kami untuk menyediakan pelbagai penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon termasuk pembangunan tenaga suria dan industri berkaitan kenderaan elektrik, tenaga hidrogen dan sebagainya.

Baru-baru ini, kejayaan Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama kerajaan persekutuan dalam penganjuran Asia Pacific Climate Week 2023 yang melibatkan lebih 3,800 wakil dari 108 negara menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam perkara ini. Kami menjangkakan lebih banyak prospek pelabur akan meneroka peluang perniagaan dalam sektor tenaga hijau susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. Selain itu, pertumbuhan pesat ekonomi digital global telah membolehkan pembangunan berterusan lanjutan dalam teknologi baharu dan membuka pelbagai peluang untuk negeri Johor. Di mana, ekonomi digital juga merupakan salah satu sektor fokus di bawah NIMP 2030. Disokong oleh sumber yang mencukupi, persekitaran yang menggalakkan dan infrastruktur yang maju, Johor telah berkembang menjadi hab untuk pusat data di rantau ini. Dan dengan sokongan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, negeri Johor telah pun keluarkan satu garis panduan berkaitan pembangunan pusat data yang kita jangka akan diangkat untuk menjadi garis panduan untuk negara Malaysia.

Imej Johor sebagai agensi utama kerajaan negeri dalam hab pelaburan akan terus bekerjasama dengan semua agensi untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik bagi merealisasikan projek-projek yang dicadangkan. Secara spesifiknya, kerajaan akan melaksanakan gerak kerja sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024 iaitu:

1. Melaksanakan kajian dan pelaporan untuk mengenal pasti jurang ekosistem bagi setiap sektor fokus yang dinyatakan.

2. Melaksanakan kajian pemetaan kawasan industri dan data pelaburan terkini untuk dipadankan dengan ketersediaan tenaga modal insan rakyat negeri Johor sebagai sumber rujukan awal kepada prospek pelabur.

3. Menaik taraf dan membangunkan infrastuktur di kawasan perindustrian berdasarkan geografi untuk memastikan ia mampu memenuhi keperluan sektor-sektor fokus yang dinyatakan.

4. Mengoptimumkan fungsi Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor melalui perkongsian maklumat berkaitan skop pekerjaan, kemahiran yang diperlukan oleh industri, peluang pekerjaan tersedia dan hal berkaitan; dan

5. Menyediakan peruntukan untuk melaksanakan Programme Upskilling dan Reskilling dalam sektor berkemahiran tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan inisiatif Johor Inside yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Puteri Wangsa, ia merupakan usaha pengumpulan data industri dan bakal mengenal pasti kos menjalankan perniagaan di negeri Johor. Proses-proses yang boleh dipermudahkan dan akan memberi fokus kepada Perancangan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura di mana memorandum persefahaman bakal ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura pada Januari tahun depan, serta Zon Kewangan Khas di Forest City yang telah pun diumumkan. Hasil Johor Inside akan dijadikan sebagai rujukan kerajaan negeri, pihak berkepentingan dan juga prospek pelabur. Dalam hal ini, perancangan yang rapi termasuk berkaitan dengan lokasi, kemudahan yang disediakan, insentif dan rangka kerja pentadbiran amat diperlukan untuk memastikan kejayaan Johor – Singapore, SEZ dan juga SFZ. Pakar perunding yang bakal dilantik akan diminta untuk membuat analisi berkaitan peluang ekonomi termasuk sektor-sektor yang boleh berkembang, pasaran yang boleh diakses dan sebagainya. Dengan adanya data dan analisis tersebut, kerajaan negeri bakal menawarkan insentif bersasar dan polisi mesra pelabur termasuk perkara berkaitan kos untuk memulakan sesuatu projek atau perniagaan. Sebagai contoh, berkaitan kos pemprosesan permohonan cukai dan faktor lain yang dapat meningkatkan tarikan negeri Johor kepada prospek pelabur.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan saya berpeluang menjawab soalan berkaitan pembangunan sektor kimia dan petrokimia di Dewan yang mulia ini semasa sesi soal jawab. Sebagai tambahan kepada perkara yang dibangkit oleh Yang Berhormat Tanjung Surat dalam perbahasan beliau. Bagi memastikan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) kekal relevan, Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) akan menjalankan kajian semula Pelan Induk PIPC yang akan memberi pendekatan terhadap komponen-komponen baharu dalam bidang peralihan tenaga serta memberi tumpuan kepada industri kimia dan petro kimia.

Langkah ini adalah penting kerana PIPC sudah mula menerima investment interest daripada industri-indutri yang menekankan elemen matlamat Pembangunan Lestari ataupun Sustainable Development Co dan prinsip alam sekitar, sosial dan juga tadbir urus ESG. Pembangunan PIPC fasa seterusnya juga akan merangkumi komponen-komponen baharu ini. PIPC Project Steering Committee yang telah pun diwujudkan pada tahun 2013 sewaktu fasa pembinaan Pengerang Integrated Petroleum Complex yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh PETRONAS pada ketika itu. Walau bagaimanapun, berdasarkan pembangunan terkini di PIPC dan minat pelaburan yang diterima, Jawatankuasa ini berpendapat penambahbaikan fungsi PIPC adalah perlu di mana fungsi PIPC sewajarnya merangkumi perkara-perkara bermula dari fasa pra pelaburan, pembinaan, pasca pembinaan, sokongan operasi perniagaan dan pasca pelaburan. Setiap perkara yang dibangkitkan dalam setiap fasa hendaklah diakhiri dengan pelaksanaan tindakan yang wajar, bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh bakal pelabur dan juga pelabur sedia ada di PIPC.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan penganjuran Asia Pacific Climate Week 2023 yang dilangsungkan dari 13 hingga 17 November 2023, sepertimana yang disebutkan tadi, ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam hal berkaitan pembangunan secara mampan. Patik juga ingin mengambil kesempatan ini menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia melancarkan Johor Sustainability Centre sempena APCW 2023.Kejayaan penganjuran APCW telah pun menunjukkan kemampuan dan kesediaan negeri Johor untuk menganjurkan persidangan antarabangsa. Johor Convention Exhibition Bureau, sebuah unit di bawah Invest Johor akan terus berusaha meneroka bidang baharu ini dalam mempelbagaikan aktiviti dan juga pertumbuhan ekonomi negeri Johor melalui penganjuran

business event yang sangat berpotensi untuk menjana limpahan ekonomi pelbagai sektor kepada rakyat negeri ini.

Antara sektor utama yang mendapat faedah limpahan ekonomi melalui penganjuran business event ini adalah sektor pelancongan termasuk industri perhotelan, perkhidmatan, perdagangan dan juga pelaburan antarabangsa. Dan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah pun mencadangkan dalam belanjawan supaya inisiatif ini diteruskan pada tahun hadapan. Namun, kami mengambil maklum pandangan Yang Berhormat Pemanis berkaitan kekurangan kami sempena APCW 2023 dan pengalaman tersebut akan dijadikan sebagai rujukan untuk penambahbaikan untuk tahun hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan portfolio Hal Ehwal Pengguna, ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat telah pun banyak menyentuh isu yang kini menjadi perbualan serta topik hangat di media arus perdana mahupun sosial iaitu isu kenaikan harga barang keperluan yang tidak terkawal atau tinggi dan isu kos sara hidup yang semakin meningkat. Program Jualan Rahmah akan diteruskan sepertimana yang dikatakan pagi tadi. Untuk makluman Yang Berhormat Bentayan, jumlah jualan bagi Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan di negeri Johor sehingga 15 November 2023 adalah RM21,149,000.00.

Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak KPDN Johor untuk Program Jualan Rahmah ini dan sebenarnya Kerajaan Negeri Johor juga ada menyediakan peruntukan melalui pihak FAMA dan untuk tahun ini kita telah pun melaksanakan Jualan Rahmah sebanyak 62 kali yang melibatkan peruntukan hampir RM800,000.00. Dan seterusnya, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan pihak KPDN Johor untuk melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi mengawal kenaikan harga barangan utama yang mendapat permintaan yang tinggi semasa musim perayaan seperti ayam, telur, daging, sayur-sayuran dan ikan di peringkat runcit dan borong. Ini bertujuan untuk melindungi pengguna dan membanteras peniaga-peniaga daripada mengambil kesempatan untuk menaikkan harga demi keuntungan yang tinggi. Sebagai hasil penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa dan Deepavali pada tahun ini, KPDN Johor telah menjalankan 1,692 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit. Dan sebanyak 46 kes telah disiasat dan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011, dengan jumlah kompaun sebanyak RM6,800.00 dikenakan. Dan juga Pegawai Pemantau Harga KPDN Johor juga melaksanakan kutipan harga barangan keperluan pengguna terpilih secara harian, mingguan dan juga bulanan di pasaran. Maklumat tersebut akan dijadikan rujukan kepada kerajaan dalam merangka tindakan untuk memastikan kestabilan harga dan juga bekalan barangan.

Sehubungan itu seramai 92 orang Pegawai Pemantau Harga telah pun dilantik di negeri Johor dan akan membuat kutipan harga merangkumi 2 premis pasar basah, 28 premis pasar mini, 67 pasar raya dan hypermarket dan 22 kedai runcit yang terlibat di semua daerah di negeri Johor. Ini membantu memastikan pemantauan yang komprehensif untuk menyokong langkah-langkah kerajaan dalam menjaga keadilan harga dan ketersediaan barang keperluan.

Dan juga kita, KPDN Johor juga mengambil maklum terhadap video tular berkaitan isu pekerja asing yang menyorok bekalan terutamanya barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung. Tindakan secara proaktif telah pun dijalankan oleh 200 penguatkuasa di seluruh negeri Johor melalui pemeriksaan secara harian ke semua premis runcit dan borong bagi memantau kedudukan bekalan keperluan asas serta harga.

Dan pemeriksaan juga akan memfokuskan kepada seluruh rantaian bekalan bermula dari peringkat pengilang, pemborong serta peruncit agar tidak berlaku sebarang gangguan bekalan dan memastikan bekalan sampai ke pengguna. Dan pemantauan bekalan ini

dilakukan pada 79 premis dedicated district retailer dan 280 premis dedicated district wholesaler ataupun pemborong daerah khas yang dilantik di setiap daerah seluruh negeri Johor agar sentiasa dapat menampung bekalan barang keperluan.

Namun Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi isu yang tular tersebut, pemeriksaan terhadap kawasan tersebut dikenal pasti di mana di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, belum ada peruntukan untuk menghalang warga asing daripada membeli barang kawalan. Maka perkara ini adalah bidang kuasa di bawah Parlimen Malaysia.

Namun sekiranya terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana premis pemegang lesen barang kawalan di bawah Control of Supply Act tindakan tegas akan diambil terhadap mereka termasuk kompaun dan juga siasatan lanjutan dan kemungkinan boleh dibawa kes ke Mahkamah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan isu-isu berkaitan Jawatankuasa ini semasa Persidangan Dewan kali ini. Bunga dedap di atas para, anak desa pasang pelita, andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta. Sekian terima kasih, salam Maju Johor.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran 2 orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Maharani.

Ahli-Ahli Yang Berhormat juga ingin dimaklumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor pada hari ini ada membuka satu booth di luar Dewan ini. Ini adalah satu inisiatif dan pendekatan kepada Ahli-Ahli dalam Dewan ini untuk bertanyakan perkara-perkara yang berkaitan tentang zakat, wakaf dan lain-lain. Pembukaan booth pada hari ini menyediakan khidmat nasihat, ya, mengenai Saham Wakaf Johor, tanah-tanah wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor, kadar zakat dan harta-harta Baitulmal. Selain itu, dipamerkan juga aktiviti-aktiviti yang sedang dijalankan di sepanjang tahun ini.

Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirahmannirahmin (Doa). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Asam pedas ikan merah, masak belangkas goreng berlada, salam hormat dari Semerah, salam sejahtera semua yang hadir. Dipanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT sehingga hari ini dapat kita sama-sama hadir dalam Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15.

Saya memulakan penggulungan ini dengan mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada tanggal 22 November yang lalu. Patik turut merafak sembah selain merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas pengisytiharan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Patik dan rakyat Semerah mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Sultan serta Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor dikurniakan setinggi-tinggi keberkatan dan kebaikan.

Patik juga merafak sembah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas perlantikan yang bakal dibuat selaku Pemangku Sultan, juga di atas kemenangan JDT atas Piala Sumbangsih, piala FA menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut. Sama-sama kita Yang Berhormat Datuk Speaker hadir ke Stadium Bukit Jalil 8 Disember ini untuk menyaksikan perlawanan dan kemenangan, insya-Allah pasukan JDT.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi atas kurniaan Duli Tuanku kepada beliau Darjah (SMIJ) yang membawa gelaran Dato’. Yang

Berhormat Datuk Speaker serta Ahli Dewan yang mulia izinkan saya menjawab beberapa isu yang ditimbulkan sepanjang sesi perbahasan.

Yang Berhormat ADUN Layang-Layang begitu prihatin dalam membela kebajikan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Johor dan asnaf dalam negeri ini. Yang Berhormat Layang-Layang mencadangkan agar diwujudkan Lembaga Zakat Negeri Johor sepertimana yang telah diwujudkan di negeri Kedah juga di Selangor. Bagi perjawatan tetap tetapi tidak berpencen bagi kakitangan-kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang berstatus kontrak.

Pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Johor telah menyediakan beberapa cadangan bagi penstrukturan organisasi dan juga perjawatan bagi memastikan perkembangan organisasi selari dengan keperluan perjawatan yang ada. Setakat ini terdapat 340 perjawatan di Majlis Agama Islam Negeri Johor di mana 170 adalah status tetap dan 130 kontrak. Namun begitu, selepas Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam dikeluarkan pada tahun 2019 berkaitan pembekuan pengambilan perjawatan tetap atau kontrak, usaha tersebut tak dapat dimajukan. Walau bagaimanapun, Majlis Agama Islam Negeri Johor akan terus berusaha mencadangkan penambahan kuota bagi kakitangan tetap pada masa akan datang. Dan keperluan bagi perjawatan yang kritikal, pada sektor-sektor yang berkenaan.

Bagi skop kebajikan asnaf, Yang Berhormat Layang-Layang ingin mengetahui status perumahan transit bagi asnaf di kawasan Layang-Layang. Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan pembinaan rumah transit asnaf di Simpang Renggam melalui Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor kali ke-225 bertarikh 30 September 2019 telah memutuskan agar Majlis Agama Islam Negeri Johor tidak lagi dilibatkan dalam mana-mana projek perumahan tetapi sebaliknya akan hanya menyewa kediaman-kediaman sedia siap dibina seperti di beberapa PPR di kawasan Johor Bahru bagi maksud perumahan transif asnaf.

Walau bagaimanapun, Majlis Agama Islam Negeri Johor bersedia mendengar sebarang usaha dan cadangan bagi maksud menyantuni keperluan rumah asnaf yang dicadangkan. Pada waktu ini Majlis Agama Islam Negeri Johor bersedia dengan peruntukan pembangunan bagi membina 50 buah rumah dan membaikpulih 10 rumah asnaf setiap tahun dengan kos berjumlah RM5.7 juta.

Yang Berhormat Panti menerusi sesi perbahasan beliau mengemukakan perkara mengenai pencerahan berkenaan pembangunan sistem penyelarasan bantuan kepada sekolan agama, masjid dan surau dalam negeri Johor dan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan penambahbaikan kepada sekolah-sekolah agama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, permohonan sistem penyelarasan bantuan masjid, surau dan sekolah agama yang akan dibangunkan pada tahun hadapan di bawah strategi memperkukuhkan tadbir urus syiar Islam diwujudkan bagi tujuan memastikan agihan peruntukan kepada masjid, surau dan sekolah agama adalah selaras dan tidak berlebihan, hanya tertumpu kepada mana-mana sekolah ataupun masjid sahaja. Ianya bagi mengelakkan pertindihan peruntukan yang diiterima oleh setiap masjid, surau juga sekolah.

Untuk makluman Yang Berhormat Panti, banyak agensi yang menyalurkan peruntukan tetapi hanya tertumpu kepada sesebuah masjid mahupun sekolah agama kerana, kerana pegawai masjid ataupun sekolah agama tersebut mereka mempunyai pengalaman dan tahu selok belok memohon peruntukan. Namun keadaan ini tidak boleh diteruskan kerana ada kemungkinan sebahagian masjid, surau juga sekolah agama yang kurang berpengalaman dalam usaha mendapatkan peruntukan.

Dengan cara sistem ini dianjurkan dan bakal dilaksanakan isu pertindihan peruntukan tidak akan berlaku, bahkan dapat mengurangkan ketirisan. Sesungguhnya pembinaan sistem ini bukan sekadar menyelaraskan bantuan malah memartabatkan kesucian dan kemuliaan rumah Allah selaras dengan peranan Majlis Agama Islam Negeri Johor di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor.

Bagi cadangan mempertingkatkan penambahbaikan infrastruktur di Sekolah Agama Kerajaan Johor seperti yang dibangkitkan oleh YB Panti, kerajaan negeri sentiasa parihatin tentang permasalahan dan kemudahan fizikal di sekolah-sekolah tersebut. Kerajaan negeri akan sentiasa melihat keperluannya bahkan pada tahun hadapan akan memperuntukkan sejumlah RM12.5 juta untuk tujuan tersebut sebagaimana kita dimaklumkan dalam Belanjawan 2024.

Suka saya kongsikan di sini isu sekolah-sekolah agama kritikal yang telah saya bentangkan pada 26 November yang lalu telah mendapat perhatian dari Yang Berhormat Menteri Agama Persekutuan dan beliau sendiri telah menyatakan kepada saya untuk menyalurkan peruntukan daripada pihak kerajaan pusat bagi menampung sebahagian daripada kos pembaikpulihan sekolah-sekolah agama negeri Johor ini. Di sini saya perlu merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih oleh Yang Berhormat Menteri Agama atas keprihatinan beliau itu.

Yang Berhormat Tenang mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menyediakan atau menyewa secara tetap kereta sewa atau teksi bagi asnaf yang menerima rawatan di pusat dialisis. Untuk makluman Yang Berhormat Tenang, Majlis Agama Islam Negeri Johor telah pun mengambil inisiatif lebih awal bagi membantu pesakit dialisis untuk hadir ke pusat-pusat rawatan melalui kaedah bantuan kewangan, pengangkutan kepada pesakit tersebut dengan menyediakan kos ke pusat-pusat dialisis yang disedikan. Bantuan ini adalah dalam bentuk sumbangan bagi meringankan pesakit menjalani rawatan harian.

Cadangan Yang Berhormat Tenang bagi Majlis Agama Islam Negeri Johor berkolaborasi bersama pengusaha kereta sewa atau teksi untuk dijadikan pengangkutan tetap merupakan cadangan yang baik dan kita akan memperhalusi cadangan tersebut.

Yang Berhormat Senggarang mencadangkan agar satu sistem pungutan Al-Quran dan kitab-kitab agama mahupun bahan hiasan yang mempunyai ayat Al-Quran diadakan agar kaedah pelupusannya dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Terima kasih Yang Berhormat Senggarang atas cadangan tersebut. Untuk makluman bersama, negeri Johor telah melaksanakan program pemurnian Al-Quran dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Pejabat Kadi Daerah serta Bahagian Penguatkuasaan dan juga kawalan negeri Johor, Kementerian Dalam Negeri serta NGO, Pertubuhan Amal Muhibbur Quran di Yong Peng dan Koperasi Masjid Taman Yayasan di Segamat.

Objektif pemurnian Al-Quran ini adalah untuk menjaga kemuliaan Al-Quran bukan ketika membaca atau menulis sahaja bahkan ketika pelupusannya dilaksanakan. Terdapat 10 lokasi pemurnian Al-Quran di seluruh negeri Johor yang kebanyakannya diuruskan oleh Pejabat Kadi Daerah. Maka bagi tujuan ini saya mencadangkan untuk kita semua agar sentiasa merujuk kepada Pejabat Kadi Daerah untuk mengetahui pusat-pusat penghantaran ayat-ayat suci Al-Quran tersebut, sebelum nanti akan dilupuskan.

YB Senggarang dan YB Tiram juga mencadangkan agar graduan lepasan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) dalam bidang Diploma Pendidikan Islam diserapkan dan ketegasan KUIJSI dalam pemilihan skop guru Sekolah Agama Kerajaan Johor agar graduan tidak sangkut dalam sesi temu duga. Terima kasih Yang Berhormat atas keprihatinan tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat secara dasarnya perlantikan graduan dalam lulusan tersebut tak dapat dibuat secara automatik, kerana ia perlu melalui proses pengambilan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor (SPAJ). Dan calon-calon yang berkelayakan hendaklah membuat permohonan bagi jawatan tersebut. Dengan jumlah permohonan yang tinggi Yang Berhormat Datuk Speaker, SPAJ akan memproses permohonan melalui proses tapisan yang teliti memenuhi kriteria job fit, team fit dan organisation fit.

Bagi pengambilan jawatan Pegawai Perkhidmatan DG29, calon-calon yang berkelayakan daripada KUIJSI boleh membuat permohonan bagi pengisian jawatan tersebut namun terpaksa bersaing dengan lain-lain calon yang juga memohon terutamanya guru-guru KAFA kita. Guru-guru KAFA bukan saja mempunyai pengalaman sedia ada, namun mereka juga mempunyai kelayakan. Calon-calon ini akan dinilai dan calon yang berprestasi tinggi akan ditapis menerusi temu duga dan calon yang berjaya akan ditawarkan dengan lantikan.

Menjawab kepada persoalan Yang Berhormat Tiram iaitu KUIJSI perlu tegas dalam pemilihan sebagai guru sekolah agama, untuk makluman sidang yangn mulia, pada tahun ini seramai 285 pemegang Diploma Perguruan KUIJSI telah memohon perjawatan guru sekolah agama dan daripada jumlah tersebut 101 orang telah terpilih untuk diterapkan dalam perjawatan guru-guru ini. Pihak kerajaan mengakui bahawa KUIJSI berjaya mengekalkan calon-calon guru agama terbaik dan boleh terus jadi penyumbang kepada penawaran perjawatan pada masa akan datang.

Yang Berhormat Kempas mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor menaikkan kadar dermasiswa kepada anak-anak kita yang berada di Jordan berikutan peningkatan kos sara hidup di sana. Skim Bantuan Dermasiswa MAIJ bagi pelajar Pengajian Islam di Jordan mula dilaksanakan pada tahun 2016 kepada pelajar yang menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. Objektif bantuan ini, membantu mempertingkatkan taraf pendidikan golongan miskin dan fakir ke tahap yang lebih tinggi. Kadar dermasiswa yang diberikan adalah sekitar RM8,000.00 setahun bagi pelajar kita di Jordan.

Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil maklum berkenaan kadar tukaran wang yang semakin meningkat, kerjasama dengan KUIJSI berkenaan perkara ini sedang dijalankan dan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Zakat Negeri Johor yang akan datang sebelum kajian akhir dibuat bagi maksud meningkatkan kadar dermasiswa yang diberikan.

Yang Berhormat Maharani dalam sesi perbahasan beliau mencadangkan agar peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 dapat disalurkan kepada sekolah agama yang memerlukan baik pulih di DUN Maharani. Untuk maklumat Yang Berhormat Maharani, kami telah menerima 6 permohonan baik pulih dari sekolah agama di mana dua sekolah agama tersebut adalah Sekolah Agama Bandar Maharani dan Sekolah Agama Parit Kadi telah pun dibaik pulih pada tahun ini. Satu buah lagi iaitu Sekolah Agama Nur As-Syam akan dibaik pulih pada tahun 2024 dan 3 lagi sekolah iaitu Sekolah Agama Parit Bakar Tengah, Sekolah Agama Seri Jong dan Sekolah Agama Parit Keroma dalam pemantauan penilaian untuk melihat tahap keperluan penyelenggaraannya. Bermaksud YB Maharani, kita ambil maklum dan tindakan sedang pun dibuat.

YB Maharani juga mencadangkan agar pemantauan dilaksanakan secara berkala oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor bagi memastikan Program Semarak Subuh yang bakal dilaksanakan dapat disemarakkan. Benar Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah penambahbaikan program di bawah Kerajaan Negeri Johor di bawah portfolio saya yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Insya-Allah, Program Semarak Subuh ini akan digerakkan melalui penggerak-penggerak DUN. Penggerak-penggerak DUN akan melaporkan perjalanan program ini kepada Pejabat Kadi dan seterusnya akan dibawa ke ibu

pejabat untuk direkodkan. Dan, sekiranya perlu Majlis Agama Islam Negeri Johor juga akan menyediakan laporan lengkap pada setiap bulan kepada Yang Berhormat Menteri Besar sebagai pemakluman kerana ini adalah bajet daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyentuh isu solidariti Palestin. 19 November yang lalu, kerajaan Johor menganjurkan Program Bacaan Yasin, Tahlil dan Solat Hajat Bangsa Johor Untuk Palestin yang bertempat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn. Kehadiran, alhamdulillah Datuk Speaker, Akhbar Utusan melaporkan 8,000 kehadiran kita rekodkan. Pelbagai latar belakang tanpa mengira politik kita jemput dan alhamdulillah semua peringkat hadir. Program ini juga diadakan bagi maksud menyampaikan sumbangan sebanyak RM2.5 juta hasil kutipan masjid, surau, sekolah agama dan juga syarikat korporat milik kerajaan mahupun swasta dalam negeri Johor. Sumbangan ini terus disalurkan ke Tabung Amanah Kebangsaan Rakyat Palestin, Kementerian Luar Negara Malaysia.

Saya menyeru kepada Dewan yang mulia ini untuk kita terus mengambil pendirian mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan peperangan yang berlaku di Tebing Gaza sekarang ini. (Dewan bertepuk). Tuan-tuan, sumbangan yang telah disalurkan tadi dan juga doa serta solat hajat yang kita terus laksanakan menunjukkan kesatuan semangat kita kepada rakyat Palestin yang sedang tertindas. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, ini adalah bukti keimanan kita. (Bacaan Hadis), “Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri”.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Dewan yang mulia, izinkan saya kembali mengimbas kejadian banjir yang hangat juga diperkatakan. Saya suka mengatakan Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang kejadian banjir di negeri Johor lepas dari tahun ini, Jabatan Agama Islam Negeri Johor juga Majlis Agama Islam Negeri Johor telah membuat langkah yang terbaik dengan membenarkan masjid, surau yang terlibat dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa-mangsa banjir. Bahkan juga saya maklumkan Yang Berhormat Datuk Speaker, kewangan masjid juga digunakan bagi membantu golongan mangsa banjir yang memerlukan. Maka, saya menyeru untuk semua masjid dan surau negeri Johor terus bersedia sekiranya kita diuji sekali lagi, yang kita berdoa tidak, untuk mempersiapkan kemudahan terbaik masjid surau kita bagi memberi kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir yang kita doakan tidak berlaku tapi persediaan perlu dibuat.

Bersoal tentang KPI Datuk Speaker, Key Performance Index. Tahun ini merupakan tahun kedua saya memegang jawatan sebagai EXCO Kerajaan Johor Hal Ehwal Agama Islam Johor. Izinkan saya berkongsi beberapa pencapaian yang telah pun dilakar sepanjang tahun ini. Antaranya ialah kita berjaya mendaftarkan seramai 529 orang pelajar tahfiz untuk menduduki peperiksaan SPM daripada 450 orang yang disasarkan. Sasaran ini melebihi 100% yang kita harapkan. Sebanyak 160 daripada 800 buah masjid dan surau yang terpilih dan 140 buah daripada 583 buah sekolah agama telah dilengkapi dengan kemudahan Internet.

Dari segi kebajikan asnaf seramai 6,000 asnaf terpilih seluruh negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta bagi Program Dapur Asnaf. Bantuan Pendidikan Asnaf sebanyak RM7.2 juta diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak asnaf yang memberi manfaat kepada 1,300 orang penerima. Selain daripada itu, pada tahun ini negeri Johor telah melahirkan seramai 1,200 huffaz dan 50,000 anak-anak muda yang khatam Al-Quran dari pelbagai peringkat umur sekolah rendah, menengah dan juga belia. Bagi penyelenggaraan dan baik pulih sekolah agama, masjid, surau serta tanah perkuburan negeri Johor setakat ini pencapaiannya 95% daripada gerak kerja yang kita sasarkan.

KPI bagi tahun 2024 pula Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah menggariskan 15 titik fokus yang berjumlah lebih daripada RM200 juta yang memberi manfaat kepada 500,000

penerima manfaat yang merangkumi RM190 juta kebajikan asnaf, RM22.8 juta bagi pengambilan guru dan penyelenggaraan Sekolah Agama Johor, RM64,000.00 bagi pembangunan sistem penyelarasan bantuan baik pulih masjid, surau dan sekolah agama; RM1.98 juta bagi penambahan pemasangan Internet di 160 buah masjid dan 200 buah sekolah agama pada tahun hadapan.

Bagi melengkapi pemasangan Wi-fi Sekolah Agama Kerajaan Johor, sebanyak 60 buah Smart TV pula akan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang belum menerimanya dengan peruntukan sebanyak RM600,000.00. Kerana KPI pada tahun ini ialah dengan tidak mencicirkan golongan kurang upaya dalam kategori negeri Johor. 10 unit Al-Quran e-Braille akan diberikan kepada pelajar cacat penglihatan di Sekolah Princess Elizabeth dan Sekolah English College yang memberi manfaat kepada 100 orang pelajar. Semoga dengan inisiatif ini akan menambahkan golongan celik Al-Quran di kalangan orang yang cacat penglihatan.

Sebagai pemakluman tambahan hasil usaha keras kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Johor, setakat kutipan terkini 83, ini yang terkini Datuk tadi saya umum 80%, 81% sekarang ini 83.25% bersamaan RM298,323,151.00 kutipan telah pun dikutip setakat jam 11 pagi tadi. Ini membuktikan syiar Islam di bumi Johor terus diperkasakan dan akan terus dimartabatkan dengan cara dia akan menafikan sebarang dakwaan bahawa kerajaan yang tidak ditadbir oleh sesetengah parti itu, Islam tidak dimartabatkan. Buktinya Yang Berhormat Datuk Speaker, penambahan pembayar zakat tahun demi tahun membolehkan lebih banyak manfaat kita berikan kepada golongan yang disasarkan. Yang Berhormat Datuk Speaker, ini antara usaha kita membantu agama Allah Surah Muhammad Ayat ke-7 (Bacaan Ayat Al-Quran). Kalau kita bantu agama Allah, Allah akan bantu kita dan memperkukuhkan kedudukan kita. Jelas, kerajaan hari ini sentiasa memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi negerinya di bawah syiar Ahli Sunah Wal Jamaah dan Almaturidiah.

Yang Berhormat Datuk Speaker sebelum berakhir, saya merakamkan terima kasih kepada semua Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan yang telah memberikan pandangan juga nasihat bahkan kritikan. Kalian telah mempamerkan sikap profesional yang tinggi, berinteraksi dengan matang juga bertoleransi. Yang Berhormat sekalian, sesi Persidangan juga dapat dilaksanakan dengan lancar dan efektif. Inilah keunikan Dewan Negeri Johor di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan sikap diri kita sendiri sebagai Ahli Dewan yang mulia. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar menerusi ucapan bajet beliau sebanyak RM39.9 juta diperuntukkan bagi pemerkasaan pendidikan Islam dan pengukuhan syiar Islam. Wallahualam. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Speaker

Tahniah, Yang Berhormat. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi · Johor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin merakamkan penghargaan kerana diberi peluang pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan yang mulia ini. Sebelum meneruskan ucapan penggulungan ini, patik ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November. Patik turut merafak sembah seraya merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena perisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-17.

Bunga mawar berdiri megah, tumbuh subur di tubir telaga, budinya Tuanku disanjung disembah, menaung negeri yang tiada tara.

Patik berdoa terhadap Allah SWT supaya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat diteruskan menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya.

Patik juga ingin merakam, merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dipersembahkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Didoakan semoga Tuanku dapat melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa diberikan rahmat Allah SWT. Tunku Mahkota Johor yang tidak pernah lekang memberi galakan, motivasi dan inspirasi bagi memacu kemajuan pendidikan di negeri Johor dan meletakkan pendidikan negeri Johor ini sebagai agenda utama dalam memajukan mutu pendidikan negeri Johor.

Tahniah juga saya ingin ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor atas kurniaan Darjah Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pendidikan mainkan peranan yang sangat penting untuk mencapai hidup yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting dalam kualiti hidup manusia. Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu dan ilmu dikenal pasti sebagai faktor hasil. Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada di persekitarannya serta memahami diri sendiri. Dengan pendidikan maka lahirlah para cerdik pandai. Hal ini secara langsung memperlihatkan berkaitan antara pendidikan dengan pembangunan di sesebuah negara. Apabila dengan lahirnya para cerdik pandai, maka segala pentadbiran dan pengurusan negara serta negeri Johor yang kita cintai ini dapat diuruskan dengan baik dan para cerdik pandai inilah bakal menyokong gagasan Maju Johor 2030.

Untuk menjadikan negeri Johor sebuah negeri yang maju, kunci utama dalam pembentukan gagasan ini adalah dengan memperkukuhkan sektor pendidikan. Pendidikan adalah kunci segala perubahan yang ingin dibentuk dalam sesebuah kerajaan. Bak kata Yang Berhormat Sri Medan, pendidikan itu penting. Macam mana kita nak pastikan anak-anak kita dapat pendidikan yang cukup kalau dulu mereka miskin keluarganya, mereka boleh jadi kaya, mereka boleh mengubah nasib keluarga, nak mengubah nasib keluarga mesti bermula daripada pendidikan.

Walaupun bidang pendidikan ini merupakan organisasi yang terletak tanggungjawab utamanya kepada kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri Johor amat komited dalam menjayakan agenda pendidikan yang lestari berpandukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam mencapai matlamat falsafah pendidikan negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor berharap agar kita dapat melahirkan Bangsa Johor yang berkualiti dari segi intelektual, rohani dan juga jasmani. Bagi menuju Gagasan Maju Johor 2030, komitmen daripada Kerajaan Negeri Johor dalam memartabatkan pendidikan di kalangan Bangsa Johor ini dapat dibuktikan seiring dengan inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang sangat komited dan cakna tentang isu-isu pendidikan di negeri Johor ini sehinggalah telah mendapat pujian di kalangan pendidik dan mahasiswa di negeri Johor ini.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, sebanyak RM45.26 juta telah diumumkan dalam Belanjawan Johor 2024 bagi memfokuskan pendidikan anak-anak Johor secara menyeluruh. Fokus ini juga bukan sahaja bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah

menengah, malah turut juga memfokuskan mahasiswa-mahasiswa anak Johor kita di institut-institut pengajian tinggi dalam negara.

Dengan pengumuman Bantuan Khas RM5.9 juta bagi peruntukan bilik guru di 1,193 buah sekolah di negeri Johor, ini adalah bukti Kerajaan Negeri Johor sangat mengiktiraf dan menghargai jasa-jasa warga pendidik dengan memberi manfaat kepada 48,500 pendidik rendah dan di sekolah menengah. Inisiatif ini inisiatif tahun kedua yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dan sangat memberi impak positif kepada para pendidik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pendidik-pendidik negeri Johor atas jasa dan pengorbanan dalam mendidik anak Bangsa Johor tanpa mengenal rasa jemu dan lelah dalam mendidik serta mengajar mereka terutama kepada guru-guru di pedalaman dan di luar bandar. Terima kasih cikgu, terima kasih cikgu, terima kasih cikgu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Parit Raja ada menyentuh berkenaan dengan perlaksanaan Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STEM) bagi sekolah-sekolah negeri Johor untuk menyerlahkan bakat pelajar ke peringkat antarabangsa. Antara program-program kalau hari ini saya nak sebutkan ada 40 program Yang Berhormat Parit Raja, jadi apa yang saya boleh rangkumkan hari ini, di antara 40 program ini, kerajaan negeri telah memberi peruntukan hampir RM1 juta bagi program STEM.

Untuk makluman Ahli Dewan yang dimuliakan, baru-baru ini beberapa pelajar di sekolah di negeri Johor telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi Robot Olympiad Championship 2023 peringkat kebangsaan yang telah disampaikan oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia, seterusnya pelajar-pelajar Johor ini mewakili Malaysia dalam pertandingan Robotic peringkat antarabangsa. Dan pada hari ini, suka juga untuk saya mengumumkan di Dewan yang mulia ini bahawa Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru telah mendapat naib juara dalam kategori Robomission Elementary dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat telah mendapat tempat keempat bagi Program Future Innovators Senior sekali gus membantu delegasi Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan 20th World Robot Olympiad 2023 di Panama City. Kita ucapkan ribuan tahniah kepada kedua-dua buah sekolah ini. Bukan itu sahaja, saya juga ingin mengumumkan bahawa satu sekolah lagi di negeri Johor yang telah membawa nama Johor di persada antarabangsa iaitu Sekolah Kebangsaan Lok Heng Selatan, Kota Tinggi yang telah memenangi Gold Award Medal dalam pertandingan The 10th Annniversary International Youth Robot Competition di Korea Selatan. Saya sungguh terharu kerana sekolah yang berada di luar bandar boleh mengharumkan nama Malaysia di mata dunia dalam bidang STEM.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bekok ada menyuarakan kebimbangannya mengenai isu vandalisme yang semakin berleluasa dan apa tindakan dalam mendidik para remaja di negeri Johor ini? Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha secara berterusan bagi memastikan jenayah vandalisme dapat dikawal dan dibenteras dalam kalangan golongan remaja melalui penerapan nilai-nilai murni pada setiap program di sekolah agar dapat diperkasakan sahsiah diri murid-murid itu sendiri.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara program utama yang dijalankan oleh JPN Johor bagi mengekang jenayah vandalisme dan memperkasakan sahsiah diri murid-murid adalah melalui Program Amalan Adab ABC (Anak Yang Baik Lagi Cerdik) dan Karakter Murid Johor. Sesi penataraan berkenaan Program Amalan Adab ABC telah dijalankan kepada PPD, pentadbir Sekolah dan YDP PIBG seluruh negeri Johor bermula daripada 8 Januari hingga 28 Februari 2023. Amalan adab menggunakan alatan dan kemudahan secara berhemah adalah antara 10 tingkah laku terpuji yang diterapkan dalam kalangan murid di negeri Johor.

Selain itu, seluruh sekolah di negeri Johor juga telah diarahkan untuk menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah bagi membanteras kes jenayah dalam kalangan murid di sekolah. Seterusnya untuk memperkukuh displin murid, Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) telah dijalankan kepada 66 buah sekolah menengah fokus yang menunjukkan peningkatan kes laku dalam kalangan murid. Di samping itu, JPN Johor telah melancarkan Ikon Duta Sahsiah di seluruh negeri Johor pada 31 Oktober 2023 dengan kerjasama PDRM negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sungai Balang ada membangkitkan berkenaan isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah-sekolah di kawasan beliau. Bagi menangani peningkatan golongan B40 dan kos sara hidup yang meningkat, kelayakan murid menerima Program Rancangan Makanan Tambahan ini telah diubah dari kelayakan berdasarkan paras garis kemiskinan (PGK) 2016 pendapatan isi rumah di bawah RM604.00 dan per kapita isi rumah RM151.00 kepada PGK 2019 pendapatan isi rumah di bawah RM1,169.00 dan per kapita isi rumah RM310.00 mulai sesi persekolahan 2022-2023. Ini membolehkan seramai 57,983 orang murid layak menerima RMT pada sesi 2022-2023 berbanding seramai 28,342 orang murid pada sesi 2021-2022.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kota Iskandar ada menyatakan kebimbingan beliau tentang kapasiti sekolah di kawasan Kota Iskandar yang terlalu padat terutama di kawasan Kangkar Pulai, Pulai Indah dan Pulai Jaya 2. Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat. Masalah kepadatan murid sekolah di DUN Kota Iskandar adalah dalam perhatian JPN Johor. Dalam hal ini, JPN telah mengambil langkah yang proaktif untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik melalui pembinaan sekolah baru dan penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak.

Sehubungan dengan itu, JPN Johor telah mendapat 3 kelulusan, kelulusan pembinaan baru iaitu Kompleks Sekolah Taman Pulai Indah Johor Bahru, Johor yang mengandungi 30 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 36 bilik darjah bagi sekolah menengah dan pembinaan baru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 3 yang mengandungi 36 bilik darjah dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 4, Tahun 2024. Status projek adalah pada peringkat proses kerja awalan yang melibatkan pemurnian skop projek serta penyediaan pelan pengambilan tanah. JPN Johor sentiasa komited dalam usaha menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua murid di seluruh negeri Johor termasuk di kawasan Kota Iskandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Endau ada menyuarakan kebimbingan di Mersing kerana tiada mempunyai fasiliti trek olahraga dan padang bagi sukan ragbi. Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia akan mendapatkan maklumat berkenaan kesesuaian padang di SMK Seri Mersing dari segi keluasan untuk pembinaan trek sintetik olahraga 400 meter. Sekiranya keluasan padang adalah bersesuaian, JPN Johor akan mengangkat cadangan di bawah peruntukan pembangunan fasiliti sukan KPM bagi RMK13 pada tahun 2025.

Untuk makluman, cadangan bagi pembinaan trek olahraga sintetik bagi daerah Mersing telah dicadangkan di SMK Anjung Batu, Mersing bagi projek RMK12, tetapi masih lagi dalam pertimbangan dan kelulusan KPM. Saya juga ingin memberi penghargaan kepada Yang Berhormat Permas atas keprihatinan beliau tentang Pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Pelajar pendidikan khas ini merupakan salah satu fokus kerajaan dalam membantu mereka. Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mengadakan beberapa program. Antara programnya, kolaborasi dengan agensi kerajaan dan swasta bagi tujuan padanan pekerjaan yang bersesuaian dengan murid yang berkeperluan khas ini (MBPK) serta Yayasan Keluarga Darul Ta’zim, PERKESO dan Hotel Hilton. Program kemahiran di sekolah bermula

di sekolah menengah MBPK telah diperkenalkan dengan kurikulum kemahiran yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia Modular kepada MBPK berdasarkan kemampuan dan kebolehan murid itu sendiri.

Seterusnya beralih ke isu yang telah dilontarkan daripada Yang Berhormat Pasir Raja, Pasir Raja ada membangkitkan berkenaan cadangan membina stadium mini di sekolah dalam daerah Kota Tinggi. Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sukan sekolah adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan kondusif agar menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah termasuklah di kawasan DUN Pasir Raja.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Johor telah mengangkat permohonan pembinaan baru kemudahan trek sintetik 400 meter, 8 lorong yang memenuhi spesifikasi Sijil IAAF Kelas Dua World Athletic, padang bola sepak dan astaka pembekalan peralatan serta kerja-kerja lain yang berkaitan bagi SMK Tun Habab semasa RMK12, RT2, Tahun 2022, menerusi bahagian sukan kokurikulum dan kesenian BSKK KPM. Namun begitu, keutamaan BSKK KPM pada ketika itu adalah projek pembangunan fizikal di sekolah sukan Malaysia dan sekolah sukan negeri.

Yang Berhormat Penawar juga ada memaklumkan dalam sesi perbahasan beliau mengenai isu pendawaian elektrik di sekolah-sekolah yang usang dan lama terutamanya di kawasan FELDA. Kebanyakan masih single phase dan tidak sesuai menampung dan selalu mengakibatkan electric trip dan dikhuatiri terbakar. Penawar juga mohon menaik taraf pendawaian elektrik terutamanya di SK Kampung Tanjung Buai, SK FELDA Air Tawar 1, SK FELDA Air Tawar 4, SK Semenchu, SK Air Tawar 5, SK Kampung Layau, SK FELDA Sungai Mas, SK Bandar Mas dan SK Bandar Penawar. Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara termasuk penyelenggaraan elektrik.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Johor sentiasa memberikan keutamaan keselamatan sekolah bagi mengelakkan berlakunya litar pintas dan kebakaran di setiap sekolah. Oleh itu, penambahbaikan dalam aspek pendawaian elektrik dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan sekolah selamat diguna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Panti ada menyuarakan kebimbangan terhadap liputan Internet di kawasan Orang Asli di negeri Johor ini. Pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan liputan telekomunikasi dan Internet di kawasan perkampungan Orang Asli ini. Perancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut mengambil kira pembangunan di kawasan Orang Asli. Berdasarkan rekod oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, terdapat 59 kampung Orang Asli Johor. Melalui JENDELA Fasa 1, terdapat 13 buah menara sedang dalam pelaksanaan yang akan memberi manfaat kepada 14 buah kampung Orang Asli daripada 59 buah kampung Orang Asli di Johor.

Selain itu, pihak kerajaan melalui MCMC juga telah siap membangunkan 16 buah menara telekomunikasi sebelum ini di bawah Program Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar yang memberi liputan kepada telekomunikasi dan Internet kepada 16 buah kampung Orang Asli. Untuk makluman juga, 13 dari 59 kampung Orang Asli sudah mempunyai liputan daripada menara telekomunikasi yang dibangunkan oleh pihak penyedia perkhidmatan secara komersial. Hanya berbaki 16 kawasan penempatan Orang Asli yang masih belum ada peruntukan pembinaan telekomunikasi yang baru. Nanti, saya sertakan sekalilah nama-nama kampung-kampung Orang Asli tu ya Yang Berhormat.

Jadi, sebelum saya mengakhiri penggulungan saya pada hari ini, saya ingin mengucapkan jutaan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini yang membantu kami para-para EXCO dalam mentadbir dengan baik Kerajaan Negeri Johor yang kita cintai ini dalam mengejar gagasan Maju Johor 2023.

Yang terakhir ini izinkan saya menyampaikan beberapa rangkap pantun untuk semua. Rembulan malam terlihat cerah, sampan dikemudi menuju arah, kami EXCO komited pantang menyerah, tugas dipikul penuh amanah. Negeri Johor berdiri megah, gagasan maju terus disergah, pantang mengundur lagi menyerah, lepada Allah kita berserah. Sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Nampaknya tiga-tiga berucap mengikut masa yang ditetapkan. Jadi, saya jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur. Jangan pecah rekod ya.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Nampak macam banyak ni Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. (Baca doa). Yang Berhormat Datuk Speaker pertama sekalinya izinkan saya merakamkan ucapan Selamat Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh 22 November 2023. Patik juga ingin merafak sembah supaya seraya merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pengisytiharan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik juga berdoa kehadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian.

Yang Berhormat Datuk Speaker saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang telah diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor kerana telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga menjuarai Liga Super 10 kali berturut-turut, marilah berdoa agar Piala Malaysia juga akan menjadi milik pasukan JDT pada perlawanan akhir 8 Disember ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak lupa di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pengurniaan Darjah Pangkat Pertama Dato’ Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) yang membawa gelaran Dato’ daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu syukur alhamdulillah berkat kesungguhan pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi telah berjaya menarik perhatian pihak kerajaan persekutuan dengan meluluskan beberapa projek mega yang dinanti-nantikan rakyat khususnya di negeri Johor. Justeru itu, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah meluluskan projek pelebaran Lebuh raya Utara – Selatan (PLUS) daripada 4 kepada 6 lorong yang dilanjuutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam yang dinanti-nantikan rakyat selama ini yang bernilai RM931 juta.

Ini adalah tambahan kepada pengumuman projek sebelum ini iaitu projek pelebaran PLUS dari Senai Utara ke Sedenak yang bernilai RM525 juta dan projek lorong memotong Lebuh raya Senai – Desaru (SDE) yang bernilai RM165 juta. Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Bukit Kepong, cadangan asal ialah bermula daripada Ayer Keroh ke Skudai dan permohonan peruntukan ini adalah dibuat secara berfasa-fasa. Selaku EXCO yang bertanggungjawab bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya akan

bersedia membantu memantau segala proses yang melibatkan kerajaan negeri dapat diselesaikan dalam Jawatankuasa Projek Berimpak Tinggi Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan syukur dan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi yang telah membentangkan Belanjawan 2024 pada 23 November yang lepas dan jelas belanjawan kali ini menekankan isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti infrastruktur rakyat serta jaringan jalan raya serta pengangkutan awam. Insya-Allah, saya yakin cita-cita ini dapat direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan semua pihak.

Berdasarkan Belanjawan 2024 yang bertemakan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, yang ditunjangi 6 teras ini sememangnya inklusif, lestari, komprehensif dan sejahtera untuk rakyat Johor. Indah lagu nyanyian teruna, orang kaya belikan makanan, masa ditunggu telah pun tiba, izinkan saya membuat penggulungan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan sekalian, seramai 24 daripada 44 Ahli-Ahli yang berbahas telah menyentuh isu-isu yang melibatkan portfolio saya, iaitu Kerja Raya yang melibatkan kualiti, kondisi serta jaringan jalan termasuklah prestasi kontraktor yang dilantik, pengangkutan yang melibatkan kesesakan, pengangkutan awam seperti kereta api, bas dan teksi dan juga infrastruktur berkenaan kecukupan dan gangguan bekalan elektrik dan juga bekalan air.

Dalam keterbatasan waktu, saya akan menyentuh isu-isu yang melibatkan dasar dan belanjawan dahulu dan sekiranya isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan sekalian yang melibatkan kawasan tidak sempat saya sebut dalam penggulungan ini, saya akan pastikan persoalan atau permohonan tersebut akan dikemaskini melalui dokumen bertulis yang akan kita akan hantar kepada YB-YB yang berkenaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker bagi menyahut Belanjawan Negeri 2024 yang telah dibentangkan di bawah portfolio saya iaitu di Teras Keempat…

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak guna Peraturan mana satu ya, nak tanya tadi Yang Berhormat Datuk Speaker ada maklumkan dengan saya Dewan Negeri tentang soalan atau pertanyaan, jadi saya guna 45(2) kalau boleh dibenarkan. Tadi Yang Berhormat EXCO ada terangkan soalan yang terdapat dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis. Saya harap soalan-soalan itu akan dijawab dan diberi cara penyelesaian dan bila tempoh yang boleh diselesaikan. Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Betul jika, sebenarnya kita dah ada jawapan-jawapannya cuma kena kemaskini dengan Yang Berhormat-Yang Berhormat supaya ada tadi tu tentatifnya dan bila akan bermula dengan kos dan sebagainya. Jadi insya-Allah, kalau sempat saya bentangkan tapi Yang Berhormat Datuk Speaker tak nak saya pecah rekod lebih berucap nanti, insya-Allah, ada Yang Berhormat Sri Medan.

Strategi Pertama ialah memperluas jaringan jalan raya dan perhubungan. Strategi Kedua ialah pengangkutan awam dan Strategi Ketiga menaik taraf kemudahan bekalan air dan tenaga. Strategi Pertama di bawah teras ini ialah memperluas jaringan jalan raya dan perhubungan. Kerajaan negeri amat prihatin tentang isu jalan raya kerana ia merupakan medium kesalinghubungan utama di Johor. Justeru itu, inisiatif yang akan dilaksanakan adalah pertama, pembinaan jalan baharu persekutuan, pembinaan jalan serta jambatan negeri, penyelenggaraan jalan, pemasangan lampu jalan dan membentuk task force projek berimpak tinggi.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan sekalian, pada tahun ini negeri Johor menerima peruntukan RM198.93 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan. Dengan jumlah ini, sebanyak 218 lokasi kerosakan telah dibaiki termasuklah RM27 juta bagi membaiki kesemua lokasi jalan rosak di Lebuh raya Pasir Gudang. Pihak JKR menganggarkan pada tahun depan 120 lagi lokasi jalan rosak yang melibatkan jalan persekutuan akan menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

Saya sedar masih banyak lokasi jalan yang rosak di seluruh negeri Johor tetapi jika dibandingkan daripada tahun-tahun sebelum ini lokasi kerosakan teruk telah jauh berkurangan khususnya di bandar Johor Bahru, Pasir Gudang termasuklah di Jalan Mersing dan juga Kota Tinggi. Bagi jalan-jalan negeri pula iaitu jalan-jalan di bawah tanggungjawab JKR sebanyak 109 lokasi jalan rosak yang melibatkan kerja pavement telah dibaiki pada tahun ini dan terdapat 42 kerosakan selain jalan yakni bukan pavement turut dibaiki dengan peruntukan sebanyak RM150 juta. Untuk tahun 2024, anggaran peruntukan yang sama iaitu RM150 juta akan digunakan bagi 140 kerja pembaikan termasuk pavement dan bukan pavement.

Manakala untuk jalan-jalan di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan, sebanyak 1,137 kerja-kerja pembaikan telah dilakukan pada tahun ini dan untuk tahun 2024 dijangka sebanyak 2,428 kerja akan dijalankan dengan peruntukan tetap siling tahunan iaitu RM300 juta. Kerja-kerja ini bukan sahaja melibatkan kerja-kerja pembaikan jalan tetapi juga kerja-kerja melibatkan keruntuhan cerun, longkang, parit dan juga perabot jalan.

Hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sejak sekian lama telah, serta pembangunan pesat negeri Johor memudahkan negeri Johor menerima projek-projek besar daripada kerajaan pusat, antaranya yang telah siap dan mula digunakan ialah pada Januari tahun ini ialah Jambatan Sungai Pulai yang bernilai RM800 juta yang mula dibina pada tahun 2017. Jambatan ini akan memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin dan memendekkan masa perjalanan PTP ke Kukup Pontian daripada lebih 1 jam kepada 30 minit sahaja.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pada tahun ini JKR negeri Johor telah menyiapkan 2 lagi projek iaitu projek memperelok jajaran di laluan SD 001 Johor Bahru ke Ayer Hitam kilometer 38 ke kilometer 40 Kulai – Johor atau lebih di kenali dengan nama Projek Selekoh ‘S’. Projek ini telah bermula pada tahun 2017 dan alhamdulillah, telah siap sepenuhnya pada tahun 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM9.5 juta. Tahniah dan syabas kepada pihak JKR dan ini yang merupakan salah satu projek sakit yang telah mengambil masa lebih kurang 10 tahun berjaya disiapkan pada tahun ini.

Kedua, Projek Jambatan Sungai Masai yang bernilai RM10 juta yang dimulakan pada tahun 2019 dan siap sepenuhnya pada November 2023. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan sekalian, jambatan ini telah dilakukan projek perintis garisan jalan, glow in the dark dengan kos ditanggung sendiri oleh pihak kontraktor sendiri. Yang Berhormat Datuk Speaker kalau malam-malam boleh lalu situ tengok dia dah glow road line di situ.

Projek sambungan yang sedang berjalan ialah menaik taraf jalan dan bina baharu Jambatan Kampung Perigi Acheh Pasir Gudang yang telah bermula sejak tahun 2019 dan dijangka siap pada tahun hadapan bulan Disember dengan kos projek RM14.2 juta. Kedua, menaik taraf jalan daripada 2 lorong 2 hala ke empat lorong 2 hala dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sejauh 2.2 kilometer telah bermula sejak Februari 2018 dan insya-Allah akan disiapkan pada Disember tahun hadapan 2024 dengan kos projek bernilai RM30 juta. Ketiga, menaik taraf dan membina jalan baharu di Gelang Patah J4 dari persimpangan Kompleks CIQ Gelang Patah sehingga ke persimpangan 4 lampu isyarat Lebuh raya

Pelepas sejauh 5 kilometer yang bermula pada Mac 2020 dan dijangka siap pada tahun 2025, Disember dengan kos RM58.8 juta dan menggantikan Jambatan Kampung Sawah, Seksyen 6.7 di Jalan Sawah J113 Pontian yang akan dimulakan pada tahun hadapan, Januari 2024 dan dijangka siap pada Julai 2025 dengan kos RM3.9 juta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan sekalian pencahayaan jalan-jalan raya sangat penting kerana ianya melibatkan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya. Kerajaan Negeri Johor sentiasa meneroka teknologi-teknologi baharu yang khusus dalam isu pencahayaan ini. Mulai tahun 2023 tahun ini semua pemasangan lampu oleh pihak JKR adalah menggunakan lampu jenis solar LED. Pemasangan lampu solar LED ini mempunyai banyak kelebihan. Antaranya tiada kos bil bulanan kerana sumber tenaga yang digunakan adalah daripada sumber cahaya matahari yang mana tidak memberi kesan karbon kepada persekitaran. Selain itu, lampu jenis LED yang digunakan adalah lebih terang dan lebih jimat penggunaan tenaga. Dengan lampu jenis solar LED ini yang tiang boleh dipasang di mana-mana kawasan yang gelap tanpa kerisauan tiada sumber elektrik. Pada tahun ini sebanyak 300 batang lampu solar LED telah siap dipasang di 47 lokasi.

Dengan anggaran bil bulanan jalan biasa, lampu jalan biasa RM20.00 setiap tiang, jika menggunakan lampu LED solar ini penjimatan bil sebanyak lebih kurang RM6,000.00 sebulan atau RM216,000.00 hingga RM360,000.00 untuk tempoh 3 hingga 5 tahun jangka hayat lampu solar LED ini. Kalau saya boleh senaraikan di Johor Bahru ada 2 lokasi melibatkan 10 tiang; Kulai 1, 5 tiang; Kluang 3 lokasi, 60 tiang; Batu Pahat 8 lokasi, 40 tiang; Muar 4 lokasi, 20 tiang; Tangkak 2 lokasi, 15 tiang; Segamat paling banyak 15 lokasi, 85 tiang; Pontian 2 lokasi, 15 tiang; Mersing 4 lokasi, 25 tiang dan Kota Tinggi 5 lokasi, 25 tiang.

Bagi tahun 2024, kami anggarkan sebanyak 200 tiang lampu lagi akan dipasang sama ada di lokasi baharu atau tambahan kepada lokasi sedia ada. Pengurangan ini disebabkan kita teroka teknologi baharu…

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh pertanyaan…

Speaker

Ya, Sila

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat EXCO, alhamdulillah ada perancangan lampu solar. Soalan saya kalau lampu solar itu dia 5 tahun dia punya warranty. Dari segi maintenance macam mana? Lepas tu, lepas 5 tahun tu kalau rosak macam mana dan tanggungjawab siapa? Sama ada di bawah Pejabat Daerah, JKR ataupun macam mana? Lepas tu yang tahun ini punya bentang untuk tahun depan, permohonan macam mana ataupun dah ada lokasi ke atau macam mana? Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Ada dua soalan, yang pertama tentang tempoh jangka hayat. Seperti yang saya sebutkan tadi jangka hayat lampu solar ini adalah antara 3 ke 5 tahun, dan disebabkan lampu ini ialah hak milik JKR, JKR sendiri akan buat maintenance dengan peruntukan JKR setiap tahun. Dan, yang kedua tadi ialah berkenaan dengan lokasi. Setiap JKR daerah telah menghantar lokasi tapi saya harapkan sebaik sahaja penggulungan ini habis, Yang Berhormat-Yang Berhormat boleh hantar juga cadangan lokasi-lokasi. Tapi dengan syarat, lokasi tu memang tak ada sumber elektrik sebab kita tak nak kita ber, kita sebut apa clash dengan tiang-tiang TNB yang sedia ada. Jadi kawasan yang dipilih mestilah memang kawasan yang tak ada langsung sumber elektrik.

Untuk makluman, Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa membentangkan Belanjawan 2024 ada sebut tentang 2,300 lampu LED. Jadi saya nak terangkan juga bahawa itu lampu LED bukan solar. Yang di bawah JKR ialah lampu LED solar. Lampu LED solar boleh dipasang di mana-mana tapi lampu LED yang bukan solar dipasang di tiang-tiang elektrik dan akan ada kos bil bulanan. Jadi Yang Berhormat-Yang Berhormat semua ada dua option. Satu di kawasan yang ada tiang dan juga ada sumber elektrik boleh mohon lampu LED di bawah Yang Berhormat EXCO Luar Bandar, Dato’ Zahari, yang mana melibatkan kawasan yang langsung tak ada sumber elektrik bolehlah hantar ke JKR-JKR Daerah sebelum diangkat ke pejabat saya.

Ok, saya sambung Yang Berhormat Datuk Speaker. Tak cukup ni baru 3 muka surat. Selain daripada pemasangan lampu solar LED, teknologi baru bagi menerangi jalan hotspot gelap pada tahun 2024 adalah menggunakan kaedah garisan jalan glow in the dark dengan anggaran peruntukan seperti diumumkan dalam belanjawan, RM1 juta. Untuk makluman, semua garisan yang bercahaya ketika suasana gelap ini adalah option lain selain pemasangan lampu jalan dan perabot pemantul cahaya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Strategi Kedua di bawah Teras Keempat ialah Pengangkutan Awam. Selain infrastruktur jalan, kemudahan pengangkutan awam juga amat penting. Inisiatif yang akan dilaksanakan ialah inisiatif penyediaan bas percuma. Buat masa ini sebanyak 74 buah bas dengan 69 laluan Bas Muafakat telah beroperasi yang melibatkan 16 PBT di seluruh negeri Johor. Secara keseluruhannya perkhidmatan Bas Muafakat Johor ini telah digunakan sebanyak 13 juta kali bermula dari April 2016 sehingga November 2023. Perkhidmatan Bas Muafakat Johor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi memberi perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi warga negara Malaysia. Perkhidmatan bas percuma ini diharap dapat menggalakkan lagi orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam selain dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran awam.

Bermula tahun hadapan, PAJ dan pihak PBT yang terlibat akan menyelaraskan semula laluan-laluan BMJ yang kurang popular bagi mengoptimumkan perkhidmatan ini. Sejak dilancarkan pada tahun 2016, beberapa pertambahan laluan telah dibuat setiap tahun mengikut permintaan. Oleh itu, PAJ sentiasa mengkaji semula laluan BMJ memandangkan telah berlakunya pertumbuhan kawasan penempatan dan komersial baru yang dijangka menjadi prospek laluan bas percuma ini. PAJ juga akan menyelaraskan laluan-laluan bas ini bagi menghubungkan ke stesen-stesen laluan Projek Landasan Kereta Api Berkembar Gemas – JB yang baru siap dibina dan terminal-terminal feri di negeri Johor bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang saling terhubung untuk pengguna.

Bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan bas awam ini, PAJ akan memperuntukkan RM300,000.00 bagi penambahbaikan ruang menunggu bas awam di Terminal Larkin Sentral yang akan dilaksanakan serta bersesuaian bagi mengiktiraf Terminal Larkin Sentral sebagai Terminal Kelas A di bawah Garis Panduan Penggredan Terminal yakni pelesenan terminal oleh APAD. Selain itu, perkhidmatan shuttle bus di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM586,000.00 yang telah memanfaatkan 47,000 orang sejak 1 Januari 2023.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh isu yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Yang Berhormat Tenang berkaitan pengusaha kereta teksi dan kereta sewa. Kerajaan negeri sedia maklum perkhidmatan teksi bermeter atau kereta sewa didakwa menuju ke arah zaman kesuraman berikutan pengguna pengangkutan awam lebih cenderung menggunakan perkhidmatan e-Hailing yang disifatkan lebih mudah dan pantas. Malah faktor usia kenderaan, kaedah lama panggilan radio, selain kurangnya minat pelapis muda menjadi punca industri teksi lama kian suram. Berdasarkan rekod permit yang dikeluarkan oleh APAD, jumlah permit teksi yang dikeluarkan sejak 4 tahun yang lalu di

seluruh negara jelas mengalami penurunan. Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan membantu menaikkan imej teksi di Johor dengan memperkenalkan pengiklanan di badan teksi. Selain mencantikkan imej berkenaan, imej kenderaan, inisiatif ini juga akan membuka peluang pemandu teksi menjana pendapatan dari sumber pengiklanan di badan teksi. PAJ juga sudah meneliti prosedur dan garis panduan agensi-agensi yang terlibat bagi pemasangan iklan di badan teksi, seterusnya akan bekerjasama dengan persatuan teksi di seluruh negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat tentang kesesakan trafik di Johor, seperti yang dibangkitkan oleh beberapa orang Ahli Yang Berhormat. Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian ke atas isu kesesakan yang berlaku di bandar-bandar utama berikutan pertambahan bilangan kenderaan khususnya di waktu puncak. Sebuah jawatankuasa khas menangani kesesakan bandar raya Johor Bahru telah ditubuhkan di bawah portfolio saya. Jawatankuasa ini telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang sering berlaku kesesakan di sekitar kawasan bandar raya dan akan mencari kaedah penyelesaian masalah kesesakan dalam jangka masa pendek atau tindakan segera. Kalau saya boleh sebutkan antara lokasi yang telah dikenal pasti di bandar raya Johor Bahru:

1. EDL Jalan Stulang – Jalan Lingkaran Dalam, 2. Jalan Lingkaran Dalam, 3. Jalan Tun Abdul Razak, 4. Jalan Jing Kui, 5. Jalan Ismail Sultan, 6. Interchange Pasir Gudang, 7. Interchange Larkin, 8. Lebuh raya Skudai di Angsana Mall, 9. Di Paradigm Mall, 10. Jalan Tebrau, 11. Jalan Wong Ah Fook, 12. Jalan Trus, 13. Jalan Abdullah Ibrahim, 14. Jalan Tun Aminah.

Menyentuh isu kemudahsampaian kawasan-kawasan pelancongan oleh pengangkutan awam, perkhidmatan Bas Muafakat Johor di seluruh daerah memang menyasarkan tempat-tempat tumpuan awam dan pelancongan bagi point of interest dalam jaringan laluan. Saya beralih kepada kemudahan bekalan air dan tenaga.

Speaker

Yang Berhormat dah lebih lima minit ni.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur · Bukit Pasir

Sikit lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Dua minit, dua minit. Dua helai lagi. Jangan tanyalah nanti makin panjang.

Selain daripada perkara yang telah diumumkan oleh Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar, kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan akan melaksanakan kerja-kerja penggantian paip di seluruh negeri Johor. Pada tahun 2021 hingga 2023, disasarkan 180 km; 2022 hingga 2024 sepanjang 234 km; 2023 hingga 2024 sepanjang 223 km; 2024 sehingga 2025, 212 km.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak RSAJ, Ranhill SAJ telah mengenal pasti lokasi kerap berlaku gangguan bekalan air di seluruh negeri Johor. Sebanyak 8 daerah dan 28 cadangan lokasi projek telah diluluskan oleh pihak SPAN yang dijangka akan siap selewat-lewatnya 2028. Selain itu antara projek yang dijangka siap pada tahun hadapan ialah menaiktaraf agihan air Parit Sulong, Batu Pahat beroperasi Suku Pertama 2024

dengan kos RM18.6 juta. Ini akan membawa manfaat kepada kawasan Parit Sulong seramai 18,428 pengguna domestik dan 547 akaun bukan domestik termasuk kilang, kedai dan lain-lain.

Yang kedua, pengoperasian Loji Rawatan Air New Kahang siap suku pertama tahun hadapan 2024 dengan kos RM143 juta. Ini akan meningkatkan 25% kapasiti margin air terawat di daerah Kluang dan sasaran pengguna yang akan mendapat manfaat ialah 161,564 pengguna.

Yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker ialah berkenaan dengan bekalan elektrik. Bagi bekalan elektrik pula, kerajaan negeri melalui Tenaga Nasional telah mengenal pasti lokasi yang kerap berlaku gangguan bekalan elektrik. Bagi projek bekalan elektrik di kawasan perindustrian, penubuhan tiga mobile Pencawang Pembahagian Utama (PPU) bernilai RM127.97 juta akan memberi manfaat kepada 13,180 pengguna dan menaik taraf 13 sistem voltan tinggi di Johor Bahru, Taman Perling, Nusajaya, Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Medini, Pasir Gudang akan memberi manfaat kepada 33,641 pengguna dengan nilai projek RM68.8 juta. Projek menaik taraf sistem bekalan elektrik di kawasan perumahan iaitu menaik taraf 13 sistem voltan tinggi seluruh negeri Johor yang akan memberi manfaat kepada 18,813 pengguna dengan kos RM30.3 juta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, telah sampai ke penghujung penggulungan dari saya. Ingin saya maklumkan di sini kepada Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu-isu berkaitan di bawah portfolio saya, saya maklumkan awal tadi saya akan hantarkan dokumen-dokumen berkenaan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian. Tenang tenang air di kali, tempat mandian putera dan puteri, sempurna sudah ucapan penggulungan ini, salah dan silap harap dimaafi. (Dewan bertepuk). Penat menari duduk di hujung, basah baju singgah di Paloh, hasrat negeri kita junjung, Johor Maju 2030. Sekian, pada Allah berserah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada semua atas ruang dan peluang. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat kerana pecah rekod. Ahli-Ahli Yang Berhormat, oleh kerana durian sudah siapsiaga menunggu. Maka Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang. Selamat makan durian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan dimulakan sekarang.

Yang Berhormat, jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmaniirahim.

Pertamanya, patik mewakili Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor serta seluruh rakyat dalam kawasan DUN Buloh Kasap dengan hormat dan takzimnya merafak sembah menjunjung kasih mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar,

Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November yang lalu. Patik juga merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas perisytiharaan pemilihan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Patik sentiasa mendoakan Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta seluruh kerabat diraja Johor dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan.

Patik juga ingin merafakkan sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tuanku, Tunku Mahkota Johor, yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama. Semoga dengan penganugerahan ini akan menjadi pemangkin dan semangat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ bagi menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri Johor dan merealisasikan Agenda Maju Johor.

Saya juga mewakili jabatan dan agensi di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor dan masyarakat kawasan DUN Buloh Kasap khasnya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Tahun 2024, yang bertemakan “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”. Insya-Allah, saya dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri dan seluruh Wakil Rakyat akan bersama-sama Yang Amat Berhormat menggembleng seluruh tenaga dan berganding bahu bagi memakmurkan negeri Johor bagi mencapai hasrat negeri maju menjelang 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Timbalan Speaker, izinkan saya untuk mengalu-alukan Jawatankuasa Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor dan juga tetamu saya daripada DUN, Kawasan DUN Buloh Kasap. (Dewan bertepuk).

Saya titipkan serangkap pantun untuk mereka. Kapal dagang dari seberang, sarat muatan tangkapan ikan, dari jauh tuan datang, kami di sini mengalu-alukan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, awal bicara ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat, kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyentuh dan membangkitkan isu-isu berkaitan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar dalam negeri Johor termasuk juga cadangan-cadangan yang dilontarkan. Antaranya, Yang Berhormat Bukit Kepong, Parit Raja, Simpang Jeram, Kukup, Bentayan, Sungai Balang, Panti, Endau, Gambir, Pasir Raja, Senggarang, Kemelah, Pulai Sebatang, Bukit Naning, Maharani dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain yang tak dapat saya sebutkan satu persatu.

Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor akan terus menjadi penekanan dalam perkasakan sektor pertanian ke arah yang lebih tinggi lagi. Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022, sektor pertanian di Johor merekodkan nilai pertambahan berjumlah RM17.3 bilion. Berbanding RM17 bilion pada tahun sebelumnya. Sektor ini merupakan penyumbang ketiga tertinggi kepada KDNK Johor iaitu menyumbang 12.2% pada tahun 2022 dan merupakan penyumbang terbesar kepada sektor pertanian di Malaysia iaitu 17.5%. Subsektor tanaman mendominasi sektor pertanian di Johor dengan sumbangan 67.9% diikuti subsektor ternakan 25.4% dan perikanan 6.4%. Dari segi pencapaian pengeluaran agro makanan tahunan 2022, mengikut subsektor dan komoditi fokus kita berjaya meningkatkan 22% pengeluaran buah-buahan dan 70% perikanan akuakultur, 1.6% penternakan ruminan dan juga berjaya meningkatkan tahap nilai jualan pengusaha Industri Asas Tani (IAT) ke tahap yang lebih tinggi kepada seramai 451 orang usahawan.

Sebagaimana yang dipohon oleh Yang Berhormat Panti tentang pencapaian inisiatif Belanjawan 2023, sukacita saya ingin melaporkan bahawa secara ringkas berkenaan pencapaian di bawah Portfolio Sektor Pertanian Negeri Johor. Secara keseluruhannya, negeri Johor menerusi 10 jabatan atau agensi berkaitan telah melaksanakan 117 program atau projek dengan peruntukan sebanyak RM53.93 juta daripada kerajaan negeri dan persekutuan. Ianya telah melibatkan dan memberi manfaat kepada 15,647 orang pengusaha agro makanan daripada subsektor tanaman, penternakan, perikanan serta industri asas tani seluruh negeri Johor. Antara jabatan dan agensi pelaksana yang terlibat adalah Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, FAMA, MARDI, RISDA dan FELCRA. Ini tidak termasuk dengan inisiatif-inisiatif lain seperti pelaksanaan kursus-kursus kemahiran, seminar dan khidmat nasihat teknikal yang banyak ditawarkan oleh jabatan dan agensi yang mana saya kira ianya tidak kurang pentingnya kepada para pengusaha sektor agro makanan dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, malam-malam melihat bintang, badan dingin terasa gementaran, peluang pertanian luas terbentang, moga dapat beri kesejahteraan.

Untuk tahun 2024, kerajaan negeri seperti yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam Ucapan Belanjawan Negeri 2024 kelmarin, akan memperuntukkan sebanyak RM26.1 juta bagi pembangunan sektor pertanian yang sudah pasti jumlah tersebut akan bertambah dengan bantuan dan sokongan oleh kerajaan persekutuan menerusi pelbagai jabatan dan agensi, yang mana perinciannya akan dimuktamadkan sedikit masa lagi. Sektor pertanian kini merupakan sektor yang boleh menghasilkan keuntungan yang tinggi jika ia diuruskan secara profesional daripada segi kewangan, pemasaran, pembangunan sumber manusia, teknologi, logistik dan rantaian nilai. Sektor ini tidak lagi hanya diwarnai oleh petani-petani luar bandar sahaja, tetapi ia juga turut diceburi oleh golongan profesional, usahawan dan ahli perniagaan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertanian adalah satu perniagaan. Untuk menghasilkan bidang pertanian, boleh mendatangkan keuntungan kepada perniagaan, usahawan yang menceburi bidang ini perlu bijak mengenal pasti peluang-peluang perniagaan yang terdapat dalam sektor pertanian. Dalam erti kata lain, kejayaan usahawan tani dicorakkan oleh faktor-faktor persekitaran dan individu itu sendiri. Dari aspek faktor persekitaran, antaranya adalah trend ekonomi semasa, permintaan dan penawaran dalam pasaran, kemajuan teknologi, sumber manusia, peluang, ancaman dan cabaran, dasar-dasar kerajaan, persekitaran perniagaan, meliputi kos urus niaga, infrastruktur dan import, infrastruktur dan input, aspek kewangan, pemasaran dan program pembangunan perniagaan.

Faktor individu pula meliputi pengalaman dan sikap. Gabungan kesemua faktor-faktor ini sebenarnya akan dapat menentukan sejauh mana kejayaan usahawan dalam menjana pendapatan dalam sektor pertanian. Bagi pihak kerajaan, kita akan membantu memperkasa pengusaha-pengusaha sektor ini menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif yang bersesuaian dari masa ke semasa.

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, memang tidak dapat dinafikan terdapat sebahagian petani yang menukar tanaman daripada nanas kepada sawit dan tanaman-tanaman lain. Untuk rekod, ketika ini Johor mempunyai keluasan 11,399 hektar kawasan bertanam nanas. Dengan pengeluaran sebanyak 402,555 metrik tan dan melibatkan lebih 2,000 orang pengusaha. Kerajaan negeri amat menggalakkan penanaman nanas ini untuk terus diperluaskan kerana potensi dan peluang pemasarannya yang luas. Terutamanya bagi varieti premium seperti MD2.

Untuk makluman juga, negeri Johor memerlukan banyak lagi bekalan untuk memenuhi permintaan eksport selain daripada permintaan domestik. Bagi tujuan tersebut selain kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM1 juta pada tahun 2024, bagi mengembangkan lagi industri nanas ini menerusi Program Johor Pineapple Project (JPP). Untuk merancakkan lagi industri nanas, Lembaga Perindustrian Nanas Malysia juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperluaskan lagi tanaman nanas pada tahun 2024, antaranya melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Menerusi Pertubuhan Peladang Negeri Johor, FELDA Wilayah Johor Bahru dan Kulim Pineapple Sdn Bhd dengan anggaran keluasan keseluruhannya melebihi 200 hektar.

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup juga, kerajaan negeri pada tahun 2024, akan memperuntukkan sebanyak RM3.1 juta bagi program pembangunan industri pengeluaran makanan utama dan berpotensi. Antaranya projek yang menjadi fokus adalah projek pembangunan industri buah-buahan jangka panjang dan jangka pendek. Projek pembangunan industri sayuran, projek pembangunan industri kelapa dan projek pembangunan industri herba dan rempah ratus.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kami mengucapkan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Simpang Jeram, Sungai Balang, Gambir, Bukit Kepong kerana membangkitkan tentang pembangunan industri sawah padi dalam negeri Johor. Walaupun negeri Johor merupakan pengeluar padi di luar jelapang, ia tetap menjadi fokus kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi produktiviti pengeluarannya. Untuk tahun 2024 misalnya, RM3.9 juta akan diperuntukkan untuk inisiatif ini. Berkenaan penekanan Yang Berhormat Simpang Jeram dan Sungai Balang, mengenai tindakan tegas kepada pemilik-pemilik tanah yang tidak selari dengan kategori atau syarat nyata dan melanggar syarat, pihak jabatan memang sedang meneliti perkara ini termasuk syarat tanah dan sebagainya. Perkara ini akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tindakan selanjutnya. Dalam konteks tanaman sawah padi ini Pihak Berkuasa Negeri akan lebih tegas dan memastikan pemilik tanah mengusahakan tanah berdasarkan sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat nyata tanah. Ini akan memastikan pengeluaran padi dapat dipertingkatkan dengan pengoptimuman tanah sawah yang telah diwartakan. Dalam merealisasikan Johor sebagai Periuk Nasi Selatan, infrastruktur dan pengurusan sawah sedang dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Bagi mencapai sasaran untuk mendapatkan purata pengeluaran hasil padi sekurang-kurangnya 5 metrik tan per hektar, penanaman padi menggunakan jentera transplanter juga merupakan inisiatif yang sedang dijalankan dan mula diperluaskan di negeri Johor. Ianya dapat meningkatkan kecekapan sistem penanaman padi pada masa kini dan membantu meningkatkan hasil yang berkualiti dan menjimatkan kos penanaman secara berkelompok. Dalam memastikan aktiviti penanaman padi secara berkelompok berjalan lancar, permuafakatan antara pesawah amat penting. Semua pesawah dinasihatkan untuk mengikuti jadual masa penanaman yang dipersetujui bagi memastikan pengairan keluar masuk air pada masa yang sama dalam semua petak sawah. Pematuhan kepada jadual penting bagi menggalakkan, pematuhan kepada jadual penting bagi mengelakkan berlakunya kekurangan air berikutan cuaca panas yang menyebabkan paras air sungai cetek dan tidak dapat membekalkan air ke dalam petak sawah sebagaimana yang berlaku di Sawah Ring, Tangkak baru-baru ini.

Perkara ini seterusnya dibimbangi akan membawa dan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan penghasilan padi. Walau bagaimanapun, di sini, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian dan JPS yang membantu secara drastik bagi mengatasi isu berkenaan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sungai Balang, pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan atau R&D berkaitan tanaman padi telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian

bersama UPM, UTEM dan UTHM bagi pembangunan di sawah Sungai Balang. Kajian benih juga telah dibuat bersama Jabatan Nuklear bagi penghasilan benih IS21, pada masa ini ia masih dalam pemerhatian petak sawah bagi melihat kesesuaian benih tersebut. Insya-Allah, pada tahun 2024, peruntukan menaik taraf dan meningkatkan produktiviti sawah padi di Sungai Balang juga tidak terkecuali.

Selepas lawatan kami di kawasan-kawasan tanaman padi di Sekinchan dan Sungai Besar tempoh hari, kami merasakan penubuhan Arena Selatan sangat penting agar kerja-kerja penanaman padi di negeri ini dapat peruntukan yang lebih besar untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras negeri. Apa pun terpulang kepada Negeri Sembilan dan Melaka untuk menyahut cadangan ini dan keputusan akhirnya ialah di pihak kerajaan persekutuan.

Berkenaan dengan perkara yang dilontarkan oleh Yang Berhormat Endau dan Gambir, berkenaan pemerkasaan amalan pertanian moden. Untuk makluman, kerajaan sentiasa menggalakkan dan berusaha memperkasa pengusaha tani ke arah pembangunan sektor agro makanan yang diterajui dengan amalan pemodenan seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0. Bagi sektor tanaman makanan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor, sebanyak 791 penggunaan teknologi Smart Farming telah direkodkan sehingga 31 Oktober 2023. Bilangan ini dijangka bertambah dari masa ke semasa. Bagi sawah-sawah di negeri Johor, penggunaan mekanisasi juga melibatkan jentera melebihi 40 horse power, transplanter dan harvester, penggunaan drone kerja dan drone pemantauan turut digunakan.

Dengan penggunaan teknologi dan mekanisasi ini, ianya dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja yang dilihat semakin sukar untuk pengusaha mendapatkan tenaga kerja pada masa kini. Program pemodenan ini turut menggalakkan penggunaan sistem fertigasi berteknologi tinggi, walaupun dengan keluasan tanah yang kecil, namun mampu mengeluarkan hasil yang tinggi. Penggunaan sistem IoT pada tanaman dapat mengatur penggunaan air, baja dan racun pada tahap yang hanya diperlukan dan dapat mengelakkan kadar berlebihan yang merugikan. Kualiti, kuantiti pengeluaran hasil dan keselamatan makanan dapat ditingkatkan berbanding dengan penghasilan tanaman secara konvensional.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu pemasaran merupakan salah satu masalah yang turut dihadapi oleh sebahagian pengusaha sektor pertanian. Sebagaimana juga yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Balang. Untuk makluman, terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani perkara ini. Ianya termasuklah inisiatif memperkasa kolaborasi antara syarikat peneraju dan pengusaha kecil sederhana. Peranan outlet-outlet pemasaran FAMA, peranan Pusat Pengumpul Hasil Pertanian atau PPHP di bawah Pertubuhan Peladang dan inisiatif pembelian secara langsung dan juga membuat pengaturan pasaran kepada petani terjejas oleh FAMA.

Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Balang juga, FAMA turut berperanan dalam membantu para petani khususnya mereka yang mempunyai kawasan tanaman yang luas, namun mempunyai masalah pemasaran hasil pertanian menerusi pelaksanaan Program Ladang Kontrak. Program Ladang Kontrak ini dapat meningkatkan jaminan pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar, mempergiatkan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran. Sehingga kini, seramai 1,749 orang pengusaha yang keluasan 3,397.32 hektar, saya ulang. Sehingga kini seramai 1,749 orang pengusaha dengan keluasan 3,397.32 hektar telah terlibat dalam program ini.

Yang Berhormat Bukit Kepong ada membangkitkan tentang strategi bagi meningkatkan tahap keterjaminan makanan. Untuk makluman, kerajaan negeri semestinya ada perancangan dan pelan tindakan ke arah meningkatkan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan tahap keterjaminan makanan menerusi Agenda Jaminan Bekalan Makanan

Negeri Johor. Selain daripada meningkatkan pengeluaran dalam konteks tanaman sebagaimana yang telah saya tekankan sebelum ini, fokus kerajaan juga tertumpu kepada subsektor-subsektor lain. Dalam subsektor tanaman misalnya, terdapat 4 projek utama yang sedang dan akan dilaksanakan.

Antaranya, yang pertama, pembangunan industri tenusu menerusi pelaksanaan Program Jemaluang Dairy Valley, kini sedang mencapai status kemajuan projek sebanyak 60% dan insya-Allah, dijangka siap akhir tahun 2024 dan bakal beroperasi pada tahun 2025. Selain daripada usaha untuk memperkasa pengusaha industri tenusu tempatan serta berterusan, projek JDV ini akan membantu meningkatkan pengeluaran tenusu Johor daripada 9 juta liter setahun kepada 15 juta liter setahun dan seterusnya meningkatkan kadar sara diri atau SSR tenusu negara.

Yang kedua, kerajaan negeri akan meneruskan Program Bantuan Baka Lembu Pedaging kepada penternak tempatan untuk meningkatkan kapasiti ternakan ruminan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 sebagaimana yang telah dilaksanakan pada tahun ini. Ia bakal memberi manfaat kepada 17 hingga 20 orang penternak yang berdaya saing untuk dibantu.

Ketiganya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, memperkasa rumah ruminan, rumah sembelihan ruminan atau Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian daging (PPHP). Kerajaan negeri dalam Belanjawan 2024 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM850,000.00 untuk membina rumah sembelihan di PPHP Batu Anam Segamat. Ia akan diselenggara oleh LPP dan PPK setempat.

Keempat, kerajaan negeri juga berterima kasih kepada FELDA atas inisiatif bagi pelaksanaan Projek Ternakan Ayam Berskala Besar di FELDA Air Tawar 3 dan Projek Ternakan Lembu Fidlot di FELDA Air Hitam Kluang. Cuma beberapa perkara masih perlukan penelitian untuk diperhalusi oleh FELDA dan kerajaan negeri.

Dalam sektor perikanan pula, kerajaan akan memfokuskan peningkatan pengeluaran akuakultur menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan dan Lembaga Pertubuhan Peladang serta J-Biotech. Selain projek-projek yang dinyatakan tersebut, fokus kerajaan negeri juga adalah dengan menyediakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa para petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani dalam negeri Johor keseluruhannya.

Yang Berhormat Bentayan dan Panti ada menyentuh berkaitan Kebenaran Merancang (KM) ternakan ayam. Sebenarnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada kes di mana kita juga bersimpati dengan pengusaha-pengusaha ayam ini. Sebelum ini mereka membina reban ternakan jauh di pendalaman tetapi pembangunan satu-satu kawasan akhirnya penempatan dan perumahan telah menghampiri kawasan reban mereka. Sebagai contoh, sebuah syarikat yang menghasilkan benih ayam kampung telah menjalankan perusahaan ini lebih 30 tahun di kawasan Gelang Patah. Tanah milik persendirian telah diarah tutup kerana kepesatan pembangunan. Namun perbincangan telah kita lakukan dan akhirnya kita menawarkan kawasan baharu yang lebih sesuai dan penutupan dibuat secara berperingkat. Kerana kita sedar jika syarikat ini menutup operasi mereka serentak, rantaian keluaran ayam kampung kita akan terjejas, tetapi itu bukan alasan untuk kita mengenepikan kehidupan selesa rakyat terbanyak. Maka, jabatan sentiasa memantau, ladang-ladang yang dilesenkan di bawah jabatan, ladang-ladang yang tidak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dan juga tidak mematuhi Enakmen Kawalan dan Pelesenan Ladang Ternakan Unggas 1997, akan dikenakan kompaun. Kita akan lebih cakna dalam memantau kawasan yang dikira sebagai hotspot dan pemantauan berkala dilakukan terhadap kawasan-kawasan ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Tiram, Pasir Raja, Bukit Kepong dan Parit Raja telah membangkitkan mengenai pelaksanaan inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup terutamanya dalam mendapat bekalan makanan. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan bebanan rakyat dalam menangani isu kos sara hidup. Selain daripada Program Jualan Rahmah, kita juga akan mengekalkan Program Bazar Rakyat Agro Johor yang saya dah jelaskan pada jawapan lisan pagi tadi. Di bawah porfolio Kemajuan Luar Bandar secara keseluruhannya, pada 2023 kerajaan negeri menerusi 7 jabatan dan agensi berkaitan telah melaksanakan 604 program atau projek dengan peruntukan sebanyak RM178,000.00. Kerajaan negeri menerusi ketua jabatan, agensi berkaitan telah melaksanakan 604 program dengan peruntukan sebanyak RM178.8 juta daripada kerajaan negeri dan persekutuan. Ianya melibatkan projek atau program pembangunan infrastruktur, ameniti sosial, sosioekonomi, modal insan dan pembangunan komuniti luar bandar. Antara jabatan dan agensi pelaksana yang terlibat adalah KKDW negeri Johor, KEJORA, FELCRA, RISDA, KEMAS, JAKOA serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor. Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas inisiatif tahun 2024 bagi pembangunan luar bandar. Antaranya, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM120,000.00 untuk geran pengurusan dan pentadbiran kepada Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor. Di mana RM20,000.00 bagi persatuan ketua kampung negeri dan RM10,000.00 bagi 10 persatuan ketua kampung daerah-daerah.

Seterusnya 810,000 geran pentadbiran dan pengurusan kepada 73 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan atau JKKR FELDA dan 8 JKKP FELCRA di Johor di mana setiap JKKR dan JKKP ini akan menerima geran sebanyak RM10,000.00. Manakala, bagi masyarakt Orang Asli pula, Yang Amat Berhormat mengumumkan peruntukan berjumlah RM1,066,000.00. Ianya merangkumi RM166,000.00 bagi elaun Batin dan ini adalah merupakan pertama kali Yang Amat Berhormat memperuntukkan, ini adalah pertama kali peruntukan kerajaan negeri iaitu sebanyak RM300.00 sebulan kepada 46 Batin sebagai tambahan kepada sumbangan RM900.00 oleh kerajaan persekutuan yang menjadikan elaun Batin hari ini kepada RM1,200.00 sebulan. RM600,000.00 diperuntukkan untuk pelbagai program komuniti, kebudayaan dan adat resam masyarakat Orang Asli dan RM300,000.00 bagi pelaksanaan Kampung Orang Asli Sejahtera.

Sepanjang tahun ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersama JAKOA dan agensi lain di bawah portfolio ini telah turun sendiri ke kampung-kampung Orang Asli dan meneliti keperluan dan beberapa perkara berkaitan dengan sosioekonomi, kebudayaan dan adat resam mereka. Sebab itu saya bersetuju, dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Tiram agar kebudayaan dan adat resam Orang Asli ini terus dilestarikan. Kami akan merangka suatu program untuk menghimpun dan mengenengahkan produk hasil tangan, pakaian, budaya, permainan, makanan dan tarian Orang Asli sama ada di dalam bentuk mini karnival atau himpunan masyarakat Orang Asli.

Berkaitan isu air di Kampung Orang Asli Sedohok yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang, memang ia isu lama kalau tak silap saya sejak tahun 2016. Projek Bekalan Air Luar Bandar bagi Kampung Orang Asli Sedohok ini kini dalam peringkat akhir reka bentuk antara pihak perunding dan Ranhill SAJ. Ini kerana isu pewartaan tanah telah selesai di peringkat PTD Kluang. Namun, ia terserah kepada KPLW Johor untuk berbincang dengan kerajaan persekutuan kerana melibatkan peningkatan kos daripada RM4.5 juta kepada RM8 juta.

Timbalan Speaker

Panjang lagi Yang Berhormat?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Lagi tiga helai, sikit lagi.

Yang Berhormat Jementah, Parit Yaani, Tiram, Maharani dan Pekan Nanas, terima kasih atas keprihatinan kepada kawasan luar bandar. Mereka ada membangkitkan jalan kampung, jalan pertanian dan juga jalan ladang yang rosak sebab banjir. Untuk makluman, kerajaan melalui JPS negeri Johor telah melaksanakan 283 projek membina jalan lintasan, menaik taraf, membaik pulih, menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM38.27 juta. Daripada jumlah itu, RM507,150.00 adalah untuk kawasan Jementah. Pihak KKW negeri Johor pula pada tahun ini, telah melaksanakan 64 projek membina baru dan baik pulih jalan perumahan desa seluruh negeri Johor dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.07 juta. Saya ambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tiram berkenaan dengan Jalan Kampung Bukit Dagang dan Kampung Seri Perdana.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Pulai Sebatang, Bukit Naning dan Pekan Nanas pula membangkitkan pemasangan lampu jalan kampung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Untuk makluman, dari fasa 1 hingga fasa 10, di negeri Johor, pemasangan sebanyak 60,072 unit telah dilaksanakan. rojek Pemasangan Lampu Jalan Kampung untuk fasa 11 sebanyak 2,230 unit jenis LED dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.6 juta oleh KKDW sedang dalam pelaksanaan dan pemantauan pihak TNB. Daripada 2,230 unit ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, setiap Parlimen luar bandar akan dibekalkan 88 unit, manakala 30 unit untuk Parlimen bandar. Pihak Pejabat Daerah telah menerima cadangan lokasi-lokasi yang sesuai untuk pemasangan lampu jalan kampung ini. Namun, atas cadangan dan permintaan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak KPLB Johor bersedia meneliti cadangan Ahli Yang Berhormat berdasarkan keperluan kerana kami faham Yang Berhormat lebih arif apa yang perlu di kawasan-kawasan Yang Berhormat. Tetapi ia tidak bertentangan dengan dasar dan syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kami ambil maklum juga perkara berkaitan lampu jalan kampung terutama keperluan lampu solar di kawasan yang tidak dilengkapi tiang atau kabel eletrik. Justeru, di masa akan datang, KKDW telah mencadangkan agar projek bina baharu jalan-jalan kampung nanti akan dimasukkan juga kos pemasangan lampu-lampu solar di lokasi-lokasi yang berkeperluan seperti di selekoh-selekoh bahaya, simpang-simpang jalan dan lokasi-lokasi lain. Ia mungkin akan meningkatkan kos pembinaan jalan-jalan baharu ini, namun ia penting agar isu lampu ini tidak berbangkit selepas jalan-jalan ini siap kelak. Saya ringkaskan Yang Berhormat. Berkaitan penyelenggaraan parit kampung yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang, Maharani, Pekan Nanas dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain, kami ingin maklumkan bahawa mulai tahun hadapan, kerja penyelenggaraan parit di kampung akan diselenggara dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan peruntukan sebanyak RM12 juta yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat tempoh hari. Kaedah perlaksanaan akan diselaraskan di peringkat Pejabat Daerah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan memberi keutamaan kepada parit-parit yang berisiko. JPKK diberi tanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, manakala pemantauan dan pembayaran akan dilakukan oleh pihak JPS dan Pejabat Daerah berdasarkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan.

KEMAS, terima kasih kepada Kemelah, Permas dan Tiram. Kami sedar persekitaran kondusif diperlukan untuk anak-anak kita belajar dalam suasana yang terbaik. Untuk makluman dalam tahun 2024, Johor diperuntukkan sebanyak RM800,000.00 oleh kerajaan persekutuan untuk pembinaan baharu dan baik pulih Sekolah Tadika KEMAS di Johor. Untuk makluman sidang Dewan, di Johor ada dua KEMAS, bangunan KEMAS yang akan dibina baharu pertama, Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Firdaus, Segamat. Dan, kedua Tabika KEMAS Nur Kasih Taman Kota Masai, Pasir Gudang. Kami faham ada banyak lagi tadika KEMAS yang dipohon oleh Yang Berhormat, cuma dia terikat kepada status pemberimilikan tanah di atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Jadi, selesai isu

tanah, KEMAS akan bawa semula permohonan termasuk juga yang dibangkitkan oleh YB Kemelah, isu tanah.

Yang Berhormat Senggarang bangkitkan tentang pelaksanaan Projek Rakan Kebun Sahabat Komuniti Desa atau (SKoD) oleh KEMAS. Untuk makluman projek SKoD di Johor diperuntukkan sebanyak RM220,000.00 yang melibatkan 22 lokasi seluruh negeri Johor dengan peruntukan RM10,000.00 setiap projek. Kami ambil maklum apa yang dibangkitkan oleh Senggarang untuk disebar luaskan atau menambah peruntukan ini. Apa pun, kita serah kepada KEMAS di peringkat persekutuan untuk pertimbangkan cadangan YB.

Berkenaan dengan lot tanah generasi kedua FELDA. Saya ingin maklumkan bahawa bilangan generasi kedua FELDA di Johor adalah seramai 27,642 orang. Daripada jumlah tersebut, 15,823 telah memohon lot tanah generasi kedua. Daripada jumlah itu, mengikut rekod kami 10,092 orang pemohon telah memperolehi Notis 5A dan daripada jumlah itu pula 8,250 telah menerima geran.

Berkenaan dengan dibangkitkan oleh YB Kemelah iaitu tentang FELDA Kemelah dan Redong. Untuk makluman, seramai 127 orang generasi kedua FELDA Kemelah dan 116 generasi kedua FELDA Redong telah menerima Notis 5A. Bagi permohonan baru iaitu fasa 2, ianya menghadapi masalah kesukaran kerana keseluruhan kawasan rancangan FELDA telah diduduki dan baki 10% kawasan yang kosong adalah akan digunakan oleh FELDA untuk pembangunan infrastruktur kemudahan awam. Walaubagaimanapun, FELDA akan melihat dan meneliti apa yang dibangkitkan oleh Kemelah.

Berkenaan dengan projek di FELDA Papan Timur yang dibangkitkan oleh YB, dua projek telah disiap. Kejap YB hilang punca. Mengenai Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA, 2 projek telah siap diduduki melibatkan 200 unit di FELDA Inas Utara. 360 unit di FELDA Sungai Ibol, dua projek lagi masih dalam pembinaan iaitu 540 di FELDA Maokil 1 dan 2 dan 539 unit di FELDA Papan Timur. Dua lagi projek sedang menghadapi isu terbengkalai melibatkan 200 unit di FELDA Pasak dan 200 unit di FELDA Bukit Aping Timur. Kedua-dua projek ini terbengkalai sejak 2017 dan masing-masing dalam progress 47% dan 59% pembangunan. Pihak FELDA sedang meneliti dan melakukan penilaian semula bagi projek tersebut.

Kesimpulan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan perkara dan isu dalam Persidangan kali ini. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan menerusi sesi penggulungan ini tidak dapat dijawab semuanya. Sekiranya terdapat soalan yang kurang diperjelaskan, Ahli-Ahli Yang Berhormat bolehlah merujuk kepada pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas tersebut secara bertulis atau menerusi sesi perbincangan. Air Sirap campur Selasih, minum sendiri di tempat tinggi, kami ucapkan terima kasih keprihatinan YB kami sanjungi.

Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor. Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, ketua-ketua jabatan, agensi negeri dan persekutuan serta para pegawai terutamanya di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar di pelbagai peringkat termasuk negeri dan daerah. Yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tahun 2023 ini. Serta semua pihak yang terlibat di lapangan termasuk pegawai dan petugas di pejabat kami. Naik pedati pergi bertapa, meredah pepohon jalan beriringan, jasa dan bakti tidak dilupa, seribu tahun jadi kenangan. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih kerana 10 minit lebih. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumusalam. Terima kasih Yang Berhormat Buloh Kasap. Kita bagi dia lebih kerana dia bagi kita buah tadi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, jika tadi Buloh Kasap mengalu-alukan tetamu-tetamunya, saya bagi pihak sidang Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada ADUN Bukit Permai seramai 12 orang, ADUN daripada Buloh Kasap seramai 6 orang, 6 orang daripada Buloh Kasap, 6 orang pemerhati dari Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor, 21 orang ketua-ketua, tetamu ADUN Larkin iaitu Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian-bahagian, 3 orang daripada ADUN Mahkota. Kami ucapkan selamat datang ke sidang Dewan dan untuk makluman kita sedang berada dalam sidang perbahasan, penggulungan oleh Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa. Seterusnya dipersilakan ADUN Yong Peng, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor seisi Dewan. Pisang goreng letak keju, minum bersama air kelapa, kalau mahu Johor maju, kerja keras jangan dilupa. So, jangan ngantuk seisi Dewan. Terutamanya patik mewakili seluruh warga Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Dan, pengisytiharan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Semoga Tuanku dilancarkan segala urusan dan dikurniakan afiat yang berpanjangan. Ucapan merafak sembah, ucapan tahniah juga kepada Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas pelantikan Baginda sebagai Pemangku Sultan Johor. Patik mendoakan agar Tunku dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ucapan Belanjawan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dalam bahasa Mandarin dan Tamil telah diterima baik bukan sahaja oleh rakan-rakan media tetapi juga disanjung tinggi oleh masyarakat Tionghoa. Klip video Yang Amat Berhormat Dato’ telah diviralkan dalam kalangan masyarakat Cina kerana ucapan kepentingan pendidikan amatlah dirasai oleh rakyat. Oleh itu, saya selaku Wakil Rakyat daripada kalangan masyarakat Tionghoa mewakili seluruh masyarakat Tionghoa Bangsa Johor sangat menghargai ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Satu peruntukan yang besar berjumlah RM5.585 juta telah diperuntukkan bagi menyemarakkan perpaduan negeri ini. Saya bangga di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ sebagai pemimpin yang condong akan menongkat, rebah yang akan menegakkan ataupun dalam Bahasa Mandarin (ucapan bahasa Mandarin) dengan izin, bererti semua Bangsa Johor tanpa mengira apa budaya dan juga kepercayaan semua diterima dan dijaga. Bagi Bahasa Tamil pula nanti YB Raven untuk sampaikan.

Sesungguhnya ini adalah satu pengiktirafan dan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor tentang kepentingan masyarakat Tionghoa dan setiap etnik di negeri Johor ini dengan slogan yang seiring, yang sering Yang Amat Berhormat Dato’ gunakan “No One Left Behind” dengan izin, di mana kita sentiasa menjaga semua Bangsa Johor.

Ketiga, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar membentangkan belanjawan tempoh hari, Yang Amat Berhormat Dato’ telah mengumumkan peruntukan yang terbesar dalam sejarah negeri Johor untuk sektor kesihatan berjumlah RM5.742 juta. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Yang Amat Berhormat Dato’ banyak kali menegaskan bahawa walaupun tanggungjawab sektor kesihatan ini adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Namun, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan sistem kesihatan di negeri ini kerana akhirnya segala manfaat adalah demi Bangsa Johor kita. Kerajaan negeri akan terus berusaha dan memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri akan cuba

membantu sebanyak yang mungkin. Saya telah meneliti perbahasan semua YB ADUN dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana YB-YB semua amat cakna tentang isu sistem kesihatan dalam negeri Johor. Sudah pasti segala pandangan, saranan dan pengamatan yang dikongsikan amat diberi perhatian demi penambahbaikan sektor kesihatan dan perpaduan di negeri Johor.

Kepada YB Jementah, Sungai Balang, Gambir, Tangkak, Tanjung Surat, Senai dan Tiram yang telah membangkitkan isu menaik taraf pembinaan fasiliti kesihatan di kawasan masing-masing. Pihak Jawatankuasa, saya akan meneliti setiap permintaan daripada YB dan tindakan susulan akan diambil. Pada tahun 2023, 14 buah klinik kesihatan dan 29 buah klinik desa telah diluluskan projek kerja-kerja menaik taraf. Pada tahun 2024 nanti, kami akan teruskan kerja menaik taraf klinik daif dengan peruntukan yang diterima dari pihak KKM. Manakala, mengenai kekurangan ambulans di fasiliti kesihatan, walaupun Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah membuat permohonan kepada Kementerian, akan tetapi setakat ini masih belum menerima berita baik lagi. Kami akan terus pantau dan berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mempercepatkan perolehan ambulans baharu. Untuk makluman seisi Dewan, Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang merupakan antara hospital yang paling sibuk dan sesak dalam negara. Dulu, pesakit terpaksa datang seawal 5.00 atau 6.00 pagi hanya untuk daftar dan mendapatkan nombor giliran serta menunggu di luar bangunan poliklinik. Sehinggalah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar mengadakan lawatan mengejut ke HSA sebelum ini dan turun padang memahami keadaan pesakit di HSA yang perlu menunggu lama untuk perkhidmatan perubatan.

Usai lawatan mengejut tersebut, kini pintu dan kaunter di poliklinik di HSA dibuka sebelum pukul 7.00 pagi kepada pesakit yang datang awal agar mereka tidak lagi perlu menunggu di tepi jalan dan luar bangunan hospital. Terus meningkatkan keselesaan pesakit ketika menunggu, kerajaan negeri juga sedar satu tindakan yang drastik harus dilakukan segera. Kerajaan negeri mesti bertindak agar membantu sistem kesihatan negeri Johor walaupun kuasa kami terhad. Kerajaan negeri telah mencadangkan beberapa inisiatif bagi meringankan kesesakan pesakit di Poliklinik Hospital Sultanah Aminah.

Inisiatif pertama, Kerajaan Negeri Johor akan memperuntukkan RM170,000.00 untuk menambah loker bagi memudahkan pesakit yang memerlukan perubatan secara berkala. Mereka tidak perlu lagi pergi ke hospital dan beratur mendapatkan perubatan, sebaliknya mereka hanya perlu mendapatkan notifikasi daripada hospital dan terus ke loker yang terletak di kawasan pasar raya. Mereka boleh shopping sambil ambil ubat, dengan izin.

Inisiatif kedua, Poliklinik HSA menerima 2,000 pesakit setiap hari dan sebahagiannya mereka pergerakan terhad dan bersusah payah pergi ke hospital hanya untuk mendapatkan perubatan yang rutin mereka. Dengan ini, kerajaan negeri telah bersetuju memperuntukkan RM900,000.00 bagi menyediakan perkhidmatan pos ubat supaya mereka boleh terima ubat di rumah.

Inisiatif ketiga, Poliklinik HSA mempunyai 22 perkhidmatan perubatan klinik pakar dan setiap hari menerima lebih daripada 2,000 pesakit. Bayangkan sistem giliran setiap klinik pakar adalah berasingan dan tidak diselaraskan. Ini telah menyukarkan pengurusan aliran trafik pesakit yang ingin mendapat perkhidmatan perubatan. Justeru, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi aplikasi perkhidmatan digital pesakit luar iaitu Smart Queue System, dengan izin. Bagi penyelarasan temu janji dan pengurusan giliran pesakit secara atas talian di Poliklinik HSA.

Sistem ini dijangka akan memberi manfaat kepada 57,000 orang pesakit sebulan dengan mengurangkan kesesakan di Poliklinik HSA. Tanpa ada penyelarasan terhadap sistem penomboran menunggu ini, situasi di hospital akan menjadi kucar kacir serta tidak efektif.

Namun kini, dengan sebuah inisiatif daripada kerajaan negeri untuk menyelaraskan sistem penomboran di HSA, sistem ini akan menjadi, menjadikan proses menunggu di HSA lebih efektif dan berkesan dan akan menjadi sebuah pilot project dengan izin, yang dalam Malaysia. Mohon doa restu daripada seisi Dewan agar cadangan projek dapat berjaya. Kalau Johor boleh buat satu sistem menunggu seperti ini, tiada alasan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya tidak laksanakan sistem ini di seluruh negara dan menjadikan kita Johor sebagai contoh.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan seisi Dewan sekalian. Mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan program saringan kesihatan secara besar-besaran yang dinamakan Program Peka B40. Dalam negeri Johor sahaja, terdapat seramai 786,033 orang yang layak menerima saringan kesihatan yang percuma. Namun, sehingga 31 Oktober 2023, hanya 118,667 ataupun 15% sahaja yang menampil ke hadapan menerima saringan kesihatan. Oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif proaktif untuk mengadakan Program Klinik Bergerak dengan peruntukan RM1.3 juta bagi menjalankan Program Klinik Bergerak ke 56 DUN di seluruh negeri Johor. Program ini dijangka dapat memberi ketercapaian perkhidmatan kesihatan asas kepada perkhidmatan kaunseling, seperti perkhidmatan kaunseling, perkhidmatan kesihatan pergigian dan saringan kesihatan asas ke seluruh pelosok negeri Johor.

Program ini dapat meningkatkan penjagaan kesihatan di luar bandar dan memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima penjagaan khas daripada pakar-pakar khususnya golongan tua dan mereka yang berkeperluan khas. Ayuh, semua Yang Berhormat, sokong usaha daripada kerajaan negeri dalam usaha Klinik Bergerak Saringan Kesihatan Bangsa Johor. Saya juga ingin sampaikan salam takziah kepada keluarga 20 mangsa kes kematian demam Denggi dalam tahun 2023. Kerajaan Negeri Johor memandang berat atas isu kes demam Denggi. RM250,000.00 akan diperuntukkan untuk Program Johor Bebas Denggi, untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan inisiatif untuk berperang secara habis-habisan dengan wabak demam Denggi. Saluran peruntukan ini adalah begitu penting untuk memastikan Johor dapat menurunkan kadar kematian akibat daripada demam Denggi yang pada ketika ini, pada ketika ini pada tahun 2023, telah mencatat angka kematian yang sangat membimbangkan.

Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor mewakili seluruh warga petugas frontliner, kakitangan sektor kesihatan awam di Johor ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana sejumlah RM1.9 juta akan diperuntukkan bagi 450 buah bilik pantri jururawat di seluruh negeri Johor, di mana inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 7,218 orang jururawat dan 2,672 orang doktor di negeri Johor sebagai tanda penghargaan segala jasa dan dedikasi yang telah dicurahkan oleh para petugas kesihatan awam di negeri ini, di mana mereka telah berperang tanpa senjata. Mereka bertarung nyawa, malah ada yang telah meninggal dunia semasa wabak Pandemik COVID-19.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan seisi Dewan sekalian, sebanyak RM1.13 juta juga telah diperuntukkan bagi menghijaukan sebanyak 17 kawasan yang berisiko tinggi dadah. Bagi menjaga keharmonian, kebahagiaan negeri Johor, usaha memerangi dadah ini tidak boleh dibuat sebelah pihak sahaja. Dengan ini, saya juga ingin menyeru kepada wakil agensi yang berkenaan, NGO ataupun ADUN-ADUN serta semua, sama-samalah kita ambil tanggungjawab bersama, aktif dalam Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing. Dan permohonan daripada Yang Berhormat Maharani, mudah-mudahan saya akan bantu kemudian.

Untuk makluman sidang Dewan sekalian, Johor bukan sahaja sinonim dengan kehebatan JDT, keindahan pulau, kesenian warisan, malahan kejayaan konsep Bangsa Johor yang menitikberatkan kemuafakatan demi kemajuan seperti yang diamanatkan oleh Bapa

Perpaduan Negara, arwah Tuan Hussein Onn, Tun Hussein Onn, tidak ada maknanya kekayaan, kemajuan dan kemakmuran, jika rakyat berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri. Justeru, Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dan beriltizam dalam usaha merancakkan Agenda Perpaduan Bangsa Johor. Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan Johor akan menyalurkan peruntukan RM850,000.00 bagi Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Negeri Johor, antaranya RM500,000.00 akan diperuntukkan bagi Program Silang Budaya yang akan melibatkan 3,000 orang pelajar rendah dan menengah dari Kelab Rukun Negara.

Selain itu, RM150,000.00 untuk Program Keselamatan Sosial Dan Kejiranan yang melibatkan 1,000 ahli SRS. Bagi mewujudlkan platform interaksi antara agama, peruntukan sejumlah RM200,000.00 akan disalurkan demi program keharmonian dan kerohanian antara agama melalui Program Interfaith Harmony, yang akan dilaksanakan bersama komuniti berbilang agama dan berlainan budaya. Program ini dipercayai mampu berperanan sebagai wadah perpaduan kesepakatan dan keharmonian Bangsa Johor, di samping menjulang Johor sebagai ukhwah atau suri teladan perpaduan yang disegani oleh negeri lain. Dengan ini, saya juga ingin, sukacitanya saya juga ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, Menteri Perpaduan telah memilih negeri Johor ini sebagai tuan rumah bagi Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan pada tahun 2024. (Dewan bertepuk).

Sidang Dewan yang mulia sekalian, berapa hari ini semasa Persidangan, isu kerjasama, keikhlasan ataupun isu perpaduan menjadi isu yang panas dalam Dewan yang mulia ini. Kalau nak cerita tentang perpaduan, biarlah EXCO Perpaduan yang ceritakan perpaduan. Perpaduan merupakan konsep yang tidak asing bagi kita. Perpaduan yang kita idamkan bukan sekadar laungan ataupun hiasan di atas kertas semata-mata. Semangat perpaduan harus menjelma dalam fikiran dan gelagat kita.

Peribahasa Melayu berbunyi, berhampar lapik, berlicin daun, jelas menyatakan sifat bermuafakatan mencari penyelesaian yang baik dengan setulus-tulus hati, tidak ada menyembunyikan perasaan-perasaan yang buruk. Wangi santan ketupat palas, lemak manis hidangan pulut, kalau sepakat biarlah ikhlas, jangan hanya janji di mulut. Diharapkan YB-YB yang sebarisan, mahupun yang seharapan dan seperikatan, dapat terjemahkan kesepakatan melalui tindakan yang cukup mudah, iaitu angkat tangan sebagai tanda sokongan dalam kelulusan Bajet Tahun 2024 dan usul-usul yang dibawa oleh pihak kerajaan sebab, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sudah 20 bulan, kami semua mengangkat sumpah sebagai, bagi membentuk Kerajaan Negeri Johor ini. Di mana kami tidak pernah mengambil cuti dan kami terus menerus bekerja kuat demi kemaslahatan dan kesejahteraan Bangsa Johor. Kami semua telah bertungkus lumus berkhidmat, sangat kerap turun padang untuk menyelesaikan isu rakyat. Dan, saya sangat yakin dengan pasukan yang dibentuk bersama, kerjasama dengan ADUN-ADUN semua, yakin dan percayalah negeri Johor akan mencapai status negeri maju menjelang 2030 akan datang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya di sini berdiri bukan sahaja sebagai EXCO, saya juga berdiri selaku Wakil Rakyat Yong Peng. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM54 juta bagi membina sebanyak 140 unit Residensi Bangsa Johor (RBJ) di Yong Peng. Ini adalah pengumuman yang memberi satu impak..

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Hilang pulak. (Dewan ketawa).

Timbalan Speaker

Perkara berapa?

Perkara 43. Perkara 43, 13, 43 (13), Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker tengah nak baca ke? Saya nak minta mencelah...

Timbalan Speaker

Dibenarkan.

Dibenarkan eh. Jadi dibenarkan atau tidak Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker?

Timbalan Speaker

Tak dibenarkan.

Tak dibenarkan eh?

Timbalan Speaker

43?

43 (13).

Timbalan Speaker

43 tak sampai 13. (Dewan ketawa).

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Salah tu, salah.

43 (13).

Timbalan Speaker

Teruskan Yong Peng. (Dewan ketawa).

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dah lari dah. (Dewan ketawa).

Ok, sekali lagi saya mewakili warga Yong Peng untuk ucap jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah membuat satu projek yang menjadi impian kepada warga Yong Peng, supaya memiliki kediaman sendiri. Selain itu, kedudukan pekan Yong Peng terletak kira-kira 32 km ataupun 1 jam daripada pusat bandar Batu Pahat. Pekan Yong Peng juga sedang pesat membangun. Oleh itu, saya memohon agar agensi kerajaan membuka cawangan mereka di pekan Yong Peng untuk memudahkan orang Yong Peng menjalankan urusan kerajaan tanpa menempuh tempoh perjalanan 2 jam pergi dan balik ke bandar Batu Pahat.

Mengakhiri ucapan penggulungan saya ini, sukacitanya sekali lagi, saya merakamkan ucapan penghargaan tahniah dan terima kasih atas pandangan dan input-input yang dikongsikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang telah mengambil bahagian sepanjang tempoh perbahasan ini. Dari Yong Peng ke pekan Skudai, makan burasak perut dialas, kita belajar biar pandai, kita berkawan biar ikhlas. Kuda kepang adat tersohor, anyaman buluh cantik bergaya, sihat rakyat majulah Johor, bersatu hati memacu jaya. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yong Peng. Jemput seterusnya Yang Berhormat Larkin, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia · Larkin

Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Mudik ke muara mencari cinta, singgah di pekan sambil berangan, Assalammualaikum pembuka kata, EXCO mulakan ucapan penggulungan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, awal bicara saya merakamkan setinggi-tinggi syukur kehadrat Allah SWT, kerana sekali lagi diberikan kesempatan dan peluang bersama

Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor yang lain bagi menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Patik juga ingin merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim di atas Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November yang lalu. Patik juga mewakili seluruh rakyat DUN Larkin dan orang muda Johor dengan hormatnya, takzimnya merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Rakyat DUN Larkin sentiasa mendoakan Kebawah Duli Tuanku, Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor serta seluruh kerabat diraja dilimpahi rahmat dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan untuk terus menaungi negeri Johor Darul Ta’zim. Patik dan seluruh rakyat DUN Larki juga merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Didoakan semoga Tunku dapat melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa diberikan petunjuk dari Allah SWT. Patik dan seluruh rakyat DUN Larkin juga dengan hormat dan takzimnya menjunjung kasih dan merafak sembah mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah membawa pasukan Bola Sepak Johor Darul Ta’zim menempah kejayaan demi kejayaan iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Kejuaraan Liga Super, 10 kali berturut-turut dan insya-Allah, dengan izin Allah, Piala Malaysia pada 8 hari bulan Disember ini. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan dan peluang ini untuk menyelar dan mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman Rejim Zionis terhadap rakyat Islam di Palestin. Justeru, atas dasar kemanusiaan sejagat dan solidariti keamanan di bumi Gaza, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat yang beragama Islam dan tafakur sebentar bagi yang bukan Islam. Al-Fatihah.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat serta seluruh di dalam Dewan ini. Semoga konflik dan kekejaman yang berlaku di bumi Gaza itu berakhir dan umat Islam di bumi Palestin dapat meneruskan kehidupan mereka sebagai manusia kita di sini juga.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Yang Amat Disanjungi (Pangkat Pertama) Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan juga di atas pembentangan Belanjawan 2024 yang sangat realistik dan menyeluruh.

Ada juga yang menyebut Belanjawan Johor 2024 sebagai belanjawan untuk Orang Muda Johor. Terima kasih Yang Amat Berhormat kerana prihatin dan terus menjadikan Teras Keenam, Orang Muda Johor sebagai antara keutamaan dan mencapai visi Johor sebagai negeri maju. Tidak lupa juga kepada kumpulan usahawan-usahawan, atlet-atlet dan juga koperator-koperator di Johor yang turut mendapat limpahan daripada pengumuman Belanjawan Johor 2024. Insya-Allah, selaku EXCO yang bertanggungjawab, saya bersama pasukan saya serta semua agensi dan jabatan di bawah portfolio saya akan bergerak dengan lebih proaktif dan dengan pendekatan sedikit berbeza bagi tahun 2024 demi memastikan segala bentuk perancangan serta pelaksanaan, inisiatif-inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan holistik.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum saya meneruskan isi ucapan penggulungan, suka untuk saya nyatakan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam

ucapan penggulungan saya petang ini, mungkin saya tidak menghabiskan masa untuk menjawab semua persoalan atau isu-isu dibangkitkan berkaitan portfolio di bawah saya. Namun, saya berjanji dan akan memastikan setiap Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini, yang bertanyakan soalan-soalan berkaitan di bawah portfolio saya, saya akan mendapatkan jawapan bertulis untuk lebih mudah buat Ahli-Ahli Yang Berhormat jadikan sebagai rujukan. (Dewan bertepuk).

Penggulungan saya petang ini akan lebih tekankan mengenai gerak kerja dan apa yang akan dibuat bagi tahun 2024 di bawah Portfolio Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagaimana dalam makluman semua, menerusi pembentangan Belanjawan 2024 pada Khamis yang lalu oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, sejumlah RM39.3 juta peruntukan diumumkan secara keseluruhan di bawah Portfolio Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor. Ia membabitkan dua teras iaitu pembangunan ekonomi dan Orang Muda Johor. Ada 7 strategi serta 13 inisiatif secara keseluruhan. Sumber manusia atau modal insan merupakan topik serta isu yang paling banyak disuarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terima kasih saya ucapkan kerana terus prihatin terhadap isu-isu semasa.

Menerusi Strategi Kedua dalam Teras Kedua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar sememangnya menitikberatkan mengenai penyediaan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Perkara ini turut menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang semalam mengenai saranan beliau untuk memperkasakan Unit Strategik Modal Insan Negeri Johor (SMI) yang dilihat sebagai one stop centre bagi sebarang perkara berkaitan modal insan negeri Johor ini. Terima kasih Yang Berhormat yang prihatin dan melihat betapa pentingnya peranan SMI khususnya dalam menjadikan rujukan utama pelabur-pelabur yang mahu datang ke negeri Johor. Terima kasih Kahang.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kewujudan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan Negeri Johor dilihat menjadi satu inisiatif yang mampu memperkasakan SMI. Di mana dua lagi rakan saya iaitu YB EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna serta YB EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi turut bersama di dalam Jawatankuasa ini untuk bergerak sebagai satu team, dengan izin, dalam memastikan kelangsungan pengurusan modal insan di negeri Johor.

Untuk makluman semua, Jawatankuasa ini berperanan untuk membuat perancangan strategik dalam pengurusan modal insan di negeri Johor melalui perkongsian dan pengumpulan maklumat serta data berkaitan skop pekerjaan. Kemahiran yang diperlukan oleh industri, peluang-peluang pekerjaan yang tersedia serta lain-lain yang berkaitan. Insya-Allah, pada tahun hadapan, segala dapatan hasil daripada mesyuarat berkala dan kajian-kajian yang dilakukan oleh agensi-agensi yang menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pemandu ini, akan saya kongsikan kepada umum supaya tidak timbul lagi persoalan, adakah Johor benar-benar memiliki tenaga kerja separa mahir, mahir dan profesional untuk menampung kehadiran pelabur-pelabur atau peluang pekerjaan baru?

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tahun hadapan juga menyaksikan Program Gerak Kerjaya Johor akan menjadi antara program yang akan memberi keutamaan membabitkan peruntukan sebanyak RM600,000.00 sebagaimana diumumkan dalam belanjawan. Ini secara tidak langsung menjawab persoalan Yang Berhormat Sri Medan, yang menyuarakan kebimbangan menerusi situasi pengangguran di Johor. Pada masa sama mencadangkan untuk memperbanyakkan penganjuran karnival kerjaya. Terima kasih Yang Berhormat atas cadangan yang baik itu.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat semua, bagi tahun 2024, SMI akan mengadakan Program Gerak Kerjaya Johor ke 10 daerah di Johor (Dewan bertepuk). Saya mengalu-alukan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk turut serta dan menghebahkan peluang-peluang yang ada nanti. Ramai juga Ahli-Ahli Yang Berhormat menyentuh soal latihan kemahiran. Suka saya kongsikan di sini, dengan peruntukan sebanyak RM2 juta, SMI pada tahun depan akan menambah baik pelaksanaan program-program latihan kemahiran Johor iaitu Pro Mahir yang dijangka menarik seramai 500 orang peserta yang akan menerima manfaat dalam peningkatan kemahiran berserta sijil kompetensi dalam memenuhi keperluan industri semasa.

Rancangan yang teliti telah dirangka dengan memfokuskan Program Pro Mahir kepada tiga kategori sebagaimana berikut:

1. Skilling dan Upskilling. Dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00. Merupakan kategori pertama dalam Program Pro Mahir menawarkan pembiayaan sebanyak 50% daripada kos latihan. Manakala, baki akan dibiayai sama ada melalui pembiayaan sendiri atau pembiayaan oleh majikan atau caruman levi yang diletakkan di bawah Human Resource Development Corporation (HRDC). Inisiatif ini diberi jaminan dengan kenaikan pendapatan sebanyak RM2,000.00 berdasarkan peningkatan kompetensi kemahiran.

2. Johor Retain, yang diperuntukkan sebanyak RM1 juta ialah kategori kedua dalam Program Pro Mahir yang mendapat permintaan dari industri yang telah beroperasi sepenuhnya dan juga pelabur-pelabur yang diterima dalam pasaran semasa. Keperluan pekerja kemahiran amatlah diperlukan di kalangan pemain industri. Selain itu, inisiatif-inisiatif ini menyediakan kursus jangka masa pendek dengan jaminan pekerjaan selepas tamat kursus.

3. Adalah yang paling menarik, untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah kategori ketiga iaitu SMI Care. Dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang seiring dengan hasrat pentadbiran kerajaan Johor ke arah sifir miskin tegar buat julung kalinya. Perhatian khusus diletakkan program ini kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), miskin tegar dan mereka yang tiada pendidikan formal dengan memberi jaminan pekerjaan setelah tamat kursus.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Portfolio Pembangunan Usahawan juga menjadi antara banyak yang diperkatakan dalam sesi perbahasan dan untuk menjawab secara umum pertanyaan Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2024, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor akan meneruskan pelaksanaan Geran Usahawan Maju Johor dengan peruntukan bertambah kepada RM2 juta berbanding RM1.5 juta pada tahun ini. Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Sememangnya Geran Usahawan ini menjadi produk paling laris, laku keras Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, yang dinanti-nantikan oleh para usahawan di negeri Johor ini.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2024 juga menyaksikan satu program baru yang akan dilaksanakan yang diberikan nama Misi Jejak PMKS Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dan program ini akan dilaksanakan ke semua 56 kawasan DUN dengan menggunakan konsep, “Kita Terjah”. Melawat ke premis usahawan yang turut dilibatkan Pejabat Daerah, pejabat Wakil Rakyat di setiap ADUN, insya-Allah, kita terjah ADUN-ADUN bersama saya, berapa ADUN nak? Kita akan umumkan.

Menerusi program ini juga, dijangka insya-Allah seramai 280 usahawan dibantu dengan nilaian sebanyak, sehingga 3,500 yang melibatkan 5 usahawan setiap DUN, mungkin kita bantu, kebergantungan kita ikut ADUN, mana ADUN yang nak perlukan, tertumpu ataupun memfokuskan, satu usahawan kita cuba bagi RM3,500.00 dan 5 usahawan. Itu antara

program bantuan terus yang akan dibuat kepada usahawan. Namun, pada masa sama, Kerajaan Negeri Johor mahu melahirkan usahawan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Justeru, sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi pelaksanaan 55 siri kursus dan latihan keusahawanan secara fizikal sepanjang tahun 2024 dengan seramai sasaran kita 2,000 usahawan, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, jarang sekali saya mendengar Ahli-Ahli Yang Berhormat menyentuh soal gerakan koperasi di dalam perbahasan. Namun, saya ingin mengucapkan syabas serta tahniah buat Yang Berhormat Gambir kerana membangkitkan pentingnya gerakan koperasi dan menyarankan pemberian insentif kepada koperasi-koperasi bagi memperkasakan peranan koperasi dalam perdagangan dan pengedaran.

Untuk maklumat Yang Berhormat Gambir, Suruhanjaya Koperasi Malaysia komited membantu menangani kos sara hidup melalui sektor pemborong dan peruncitan koperasi. Khusus melalui penubuhan rangkaian outlet Kopmart yang menawarkan harga keperluan asas pada kadar yang berpatutan. Sehingga 31 Oktober 2023, terdapat sebanyak 2,611 outlet Kopmart telah beroperasi di seluruh negara dan daripada jumlah ini, sebanyak 292 outlet berada di negeri Johor. SKM juga menawarkan pakej insentif berupaya bantuan, berupa bantuan bagi memperkasakan penguatkuasaan rantaian bekalan koperasi dalam sektor pemborong dan peruncitan. Dan melalui Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi atau SKOP, program pembangunan melalui koperasi, bantuan sehingga RM300,000.00 juga ditawarkan kepada koperasi yang layak.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pembangunan belia dan ketersediaan belia berkemahiran juga antara yang dibangkitkan beberapa Ahli Yang Berhormat, antaranya Parit Raja, Parit Yaani dan Tanjung Surat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, tahun 2024 menyaksikan lebih banyak program berkaitan dengan belia yang akan dianjurkan secara berfokus di bawah agensi termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Sukan Belia dan Sukarelawan, Institut Dato’ Onn (IDO), Pusat Pembangunan Belia ataupun di upgrade ataupun kita dah rebranding daripada Pusat Pembangunan Belia kepada Unit Orang Muda Johor serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Tahun hadapan juga menerusi peruntukan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat, sebanyak RM1.5 juta Program Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor akan diperhebatkan dan terima kasih pada Yang Berhormat Parit Yaani atas cadangan yang baik mahukan program ini mengguna pakai konsep yang sama seperti penganjuran Sukan Bangsa Johor iaitu diadakan di setiap kawasan DUN. Sebagai contoh RM1.3 juta diperuntukkan pada tahun depan untuk program menerusi Program Onn Leadership Accelerator (OLA) oleh IDO. Untuk maklumat pada tahun ini, OLA yang berlangsung selama 6 bulan melibatkan seramai 30 anak Johor merupakan sebuah program latihan kepimpinan yang memfokuskan penguasaan polisi, komunikasi berkesan, perancangan program, impak kepada komuniti serta modul-modul kepimpinan korporat disertakan bimbingan mentor. Tidak dilupakan Modul Johor, modul berkaitan jati diri Johor serta sejarah dan Undang-Undang Tubuh Johor serta Kesultanan Johor juga ditekankan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, lagi dua Insya-Allah habis. Agenda Gerakan Sukarelawan yang tidak diketepikan. Dan, sebanyak RM750,000.00 secara keseluruhan diumumkan untuk menjayakan inisiatif sukarelawan OMJ. Antara program baru yang akan dijayakan tahun hadapan termasuk penubuhan skuad muda Southern Volunteers di IPTA mahupun IPTS yang dijangka akan menjayakan misi meningkatkan keahlian SV. Malah pembangunan laman sesawang dan aplikasi Southern Volunteers dijangka dapat menarik lebih ramai lagi Orang Muda Johor menyertai SV, Insya-Allah.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Agenda Aktif Johor turut dijadikan titik fokus gerak kerja saya. Pada tahun hadapan di mana pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan ke arah menjadikan gaya hidup aktif satu rutin buat Bangsa Johor. Antaranya

ialah penganjuran tahun ketiga Sukan Bangsa Johor yang membabitkan peruntukan yang berjumlah RM1.1 juta. Insya-Allah dengan peruntukan ini segala kekurangan dalam penganjuran tahun ini akan dijadikan rujukan bagi penambahbaikan dalam edisi tahun 2024 nanti. Insya-Allah Kluang ataupun Tanjung Surat akan menjadi tuan rumah bagi tahun 2024. Kita undilah sama ada Kluang ataupun ni.

Dalam usaha untuk mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia di Sarawak tahun hadapan, tidak dilupakan juga pembangunan kerjaya dan pendidikan atlet. Di mana sejumlah RM1.2 juta diperuntukkan program baru iaitu Johor Athlete Career & Education ataupun (JACE). Program ini menyasarkan lebih ramai thinking athletes serta peluang untuk atlet-atlet Johor melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ataupun Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menjawab persoalan Yang Berhormat Kukup mengenai penganjuran sukan bertaraf antarabangsa. Insya-Allah, Agenda Aktif Johor tahun hadapan juga bakal menyaksikan lebih banyak penganjuran sukan bertaraf antarabangsa yang akan diadakan di negeri Johor. Jangan bimbang Yang Berhormat walaupun kerajaan negeri berhasrat menjadikan Johor Bahru sebagai hab sukan yang dikenali sebagai JB Sport City, namun daerah atau lokasi yang berpotensi juga tidak akan dilupakan dan boleh dijadikan spot baharu penganjuran sukan yang difikirkan. Penjenamaan semula dan pewartaan nama-nama fasiliti sukan yang terdapat di Johor Bahru dan seluruh Johor di bawah Perbadanan Stadium Johor (PSJ) juga akan mula dibuat tahun hadapan. Insya-Allah dengan penjenamaan baru ini memberikan imej lebih segar dan bugar, lebih sesuai untuk tujuan pemasaran khususnya bagi penganjur-penganjur luar negeri yang mahu menggunakan aset atau fasiliti sukan di negeri Johor.

Penutup. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, daripada ucapan yang telah saya utarakan tadi, sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada sesi sidang Dewan yang akan perancangan dan gerak kerja secara umumnya bagi tahun hadapan di bawah portfolio saya. Akhir sekali, selaku EXCO yang bertanggungjawab, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua ketua-ketua jabatan dan agensi serta seluruh pasukan saya yang berada di bawah portfolio saya yang bertungkus-lumus untuk menjayakan Agenda Maju Johor. Terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat memberikan pandangan-pandangan, teguran-teguran yang membina dan sebagai satu keluarga walau dalam keadaan kekangan masa serta kewangan selain beberapa cabaran lain, anda semua tetap terus bekerja demi Johor dan Bangsa Johor.

Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, terima kasih, terima kasih dan terima kasih. Keprihatinan semua dan sebagaimana saya nyatakan di awal ucapan, semua soalan akan dijawab secara terperinci dalam jawapan bertulis. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dapat dijernihkan, yang kurang ditambah baik kan.Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Larkin. Dijemput Yang Berhormat Serom, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. Dengan hormat dan penuh takzimnya patik merafak sembah menjunjung kasih

setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim sempena pemilihan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17 dan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Permaisuri Johor dikurniakan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia dan sentiasa dalam rahmat Allah. Daulat Tuanku.

Patik turut ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang diterajui oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas kemenangan Piala Sumbangsih, Piala FA serta menjuarai Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut. Syukur Alhamdulillah untuk kejayaan-kejayaan tersebut. Patik merafak sembah takzim menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia binti Almarhum Sultan Idris Shah dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda binti Bustamam yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal berkaitan kanak-kanak khususnya di negeri Johor. Kerajaan Negeri Johor melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor sentiasa berusaha dalam memastikan kanak-kanak yang juga merupakan golongan rentan sentiasa terbela. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor sentiasa mengambil cakna titah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar dan akan terus berperanan aktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Mahkamah, hospital, penglibatan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan masyarakat setempat amat dialu-alukan dan juga dititikberatkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah mentadbir Kerajaan Negeri Johor dengan penuh bertanggungjawab terhadap kepentingan dan keperluan rakyat negeri Johor dengan bertemakan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat Johor 2024”. Mengenengahkan pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk usaha-usaha kerajaan negeri untuk membela nasib, memperkasakan dan meningkatkan ekonomi golongan sasar, pemberdayaan wanita dan golongan sasar. Kerajaan Negeri Johor amat cakna dan menitikberatkan peningkatan ekonomi dan kebajikan sosial rakyat di negeri Johor. Terutamanya yang melibatkan golongan rentan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor melalui YPKDT menyediakan keperluan kemahiran, latihan dan bantuan bagi memulakan perniagaan melalui pembelian peralatan serta bimbingan secara berterusan kepada golongan rentan dengan menyasarkan 1,000 orang yang terdiri dari ibu tunggal, wanita B40 dan OKU. RM1 juta diperuntukkan untuk program-program pemberdayaan wanita dan golongan sasar seperti Kemahiran Menjana Pendapatan Wanita, Skim Bantuan Peralatan Perniagaan, Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus yang menekan aspek peluang, pengetahuan dan juga kemahiran untuk memulakan perniagaan. Selain bertujuan untuk menjana pendapatan, meningkatkan ekonomi keluarga dan melahirkan usahawan yang berdikari, program ini juga mensasarkan peningkatan 30% daripada pendapatan asal mereka.

Bantuan Kebajikan Sosial. Kerajaan Negeri Johor dengan kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat cakna akan kesusahan yang dilalui oleh rakyat. Terutamanya apabila berlaku kenaikan harga barang runcit yang amat memberi kesan kepada kelangsungan hidup rakyat. Oleh itu dana sebanyak RM298 juta diperuntukkan dan akan memanfaatkan seramai 55,700 orang penerima yang layak mengikut garis panduan dan syarat-syarat kelayakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemberdayaan Kelestarian Wanita Negeri Johor. Saya percaya bahawa kemajuan ini perlu diimbangi dengan dukungan dari pelbagai aspek seperti pembangunan modal insan yang berkualiti sama ada kepada kanak-kanak, wanita,

golongan rentan dan lain-lain golongan dalam mencapai matlamat tersebut. Peranan dan tanggungjawab golongan wanita Johor perlu diperkasakan selain menghakupaya potensi diri, keluarga dan masyarakat dengan pelbagai program sokongan, kesedaran, galakan dan juga pengiktirafan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor melalui YPKDT berperanan dalam meningkatkan pemberdayaan dan kelestarian wanita negeri Johor dengan pelaksanaan Konvensyen Pemerkasaan Wanita dan Masyarakat Peringkat Kebangsaan dan pelaksanaan WCare Johor (Women Cancery Productive Awareness) yang akan dimanfaatkan seramai 8,000 wanita di negeri Johor agar dapat melahirkan masyarakat wanita berilmu dan berpengetahuan, tinggi kesedaran kesihatannya, cakna berkaitan isu semasa, pantas dalam menghulurkan bantuan.

Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Kebangsaan ini meliputi pembentangan pelbagai kertas kerja dari pelbagai institusi di Malaysia. Forum, seminar, Sambutan Hari Wanita dan Sambutan Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2024 Peringkat Negeri Johor yang melibatkan semua agensi di bawah Portfolio Pembangunan Keluarga dan Keluarga Masyarakat Negeri Johor. Manakala WCare Johor (Women Cancery Productive Awareness) pula merupakan sebuah usaha membantu meningkatkan kesedaran para wanita bagi menjalani saringan awal kanser reproduktif serta memberikan kemudahan bayaran fee pendaftaran kepada wanita yang layak menjalani saringan cancer reproductive tersebut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sokongan sosial, kebajikan dan pembangunan kanak-kanak, Jauhar Care Centre. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kolaborasi strategik bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor akan memperluaskan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, selamat dan ekonomi khususnya bagi golongan B40 agar kanak-kanak berpeluang mendapatkan didikan awal kanak-kanak yang sempurna menerusi Modul Jauhar yang telah dibangunkan dengan kerjasama National Child Development Research Centre, dengan izin iaitu Pusat Pendidikan Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pembangunan 2 buah JCC di komuniti iaitu PPR Desa Mutiara dan RSK Taman Cendana mampu menempatkan sehingga 60 orang kanak-kanak dari usia 2 hingga 4 tahun dalam satu-satu masa. Selain itu, bagi kerja-kerja pembangunan JCC Kluang serta pengoperasian JCC pertama dalam komuniti PPR Melana juga sedang dipergiatkan. Penyediaan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita di dalam pekerjaan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyahut usaha kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup melalui inisiatif Ekonomi Penjagaan dengan izin, Care Economy. Ekonomi Penjagaan ini adalah sebuah inisiatif untuk meningkatkan latihan dan bimbingan kepada wanita dalam aspek penjagaan agar kerajaan melahirkan pelatih dan penjaga yang berkemahiran dalam menyediakan perkhidmatan untuk membantu individu yang memerlukan seperti Orang Kurang Upaya, kanak-kanak dan warga emas. Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa kerana telah menyambut usaha baik kerajaan negeri berkaitan penambahan JCC untuk komuniti.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Anak Angkat Makmur Johor. Kerajaan Negeri Johor melalui YPKDT sentiasa menyantuni masa depan pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim, anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa, ibu atau bapa atau penjaga akibat COVID-19. Anak-anak yang terkesan kehidupannya akibat pandemik ini selayaknya dibantu agar kerajaan dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan berintegriti serta membuktikan bahawa anak-anak ini juga mampu berjaya dengan kelulusan kerajaan, dengan ketulusan kerajaan dalam menghulurkan bantuan yang sepatutnya mereka terima. Inisiatif Anak Angkat Makmur Johor ini membela nasib seramai 1,300 orang kanak-kanak dan remaja yang akan diberi bantuan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemberdayaan Dan Kemandirian Orang Kurang Upaya Dan Warga Emas. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan YPKDT sentiasa berusaha dalam persediaan prasarana minda dan fizikal warga emas untuk menghadapi Malaysia menjadi negara tua pada tahun 2030 serta menitikberatkan dorongan istimewa kerana kekurangan pada golongan istimewa ini tak boleh kita remehkan. Oleh itu, dana sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti dan Pusat Aktiviti Warga Emas demi persekitaran pembangunan minda dan fizikal yang lebih kondusif dan efektif.

Selain itu, terdapat tiga program utama bagi pemberdayaan dan kemandirian OKU iaitu kemahiran dan latihan bantuan kejurulatihan pekerja-majikan. Kursus Asas Bahasa Isyarat Malaysia dan Kursus Kemahiran Dan Kerjaya OKU. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mempergiatkan pelaksanaan penarafan bintang pusat jagaan kanak-kanak bukan sahaja kepada pengurusan pusat jagaan atau taska kanak-kanak tapi diperluaskan lagi bagi pusat jagaan warga emas dan OKU.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Mahkota di atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap golongan gelandangan serta cadangan penggunaan dan pengubahsuaian bangunan-bangunan terbiar, kuarters-kuarters kerajaan yang kosong sebagai pusat transit bagi golongan gelandangan. Kerajaan Negeri Johor melalui JKM sentiasa peka mengenai isu gelandangan yang melibatkan pengemis dan kutu rayau. Isu gelandangan adalah merupakan tanggungjawab bersama antara agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani masalah gelandangan sama ada badan-badan besar atau daerah-daerah. Dalam perkara ini JKM sentiasa membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan Akta Orang Papa 1977 bagi menangani masalah gelandangan ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, antara tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JKM adalah seperti berikut:

1. Mengadakan mesyuarat bersepadu dan kolaborasi di antara agensi penguatkuasaan dan lain seperti Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara bagi menyelaraskan tindakan penguatkuasaan terhadap premis dan kutu rayau mengikut bidang kuasa agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

2. Membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala menyelamatkan pengemis dan kutu rayau bagi mengatasi perkhidmatan yang sesuai untuk golongan ini. Mengambil tindakan segera terhadap aduan dari orang awam mengenai pengemis dan kutu rayau.

3. Membuat profiling terhadap golongan gelandangan ini untuk rekod dan rujukan kepada agensi kepada kerajaan yang lain mengikut kesesuaian perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka.

4. Menjalankan kempen dan advokasi kepada masyarakat umum tentang kesedaran bersama untuk mencegah aktiviti pengemisan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pengemis dan kutu rayau ini yang telah disantuni Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diuruskan penempatannya, menempatkan mereka di pusat jagaan NGO yang berdaftar di bawah JKM bagi tujuan perlindungan bagi pengemis dan kutu rayau yang tidak mempunyai waris. Mengesan waris atau keluarga bagi tujuan mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga, menempatkan mereka ke institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan perlindungan dan penjagaan yang sesuai. Menempatkan mereka di Anjung Singgah di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara bagi pengemis

dan kutu rayau yang masih produktif dan boleh bekerja sementara mendapat penempatan yang sesuai buat golongan ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Jaya di atas keprihatinan dan kecaknaan Yang Berhormat terhadap golongan OKU di dalam kelangsungan sebelum dan selepas Program Job Coach serta tentang agensi dan pihak swasta yang berdaftar atau bekerjasama dengan JKM untuk sudi menerima golongan OKU ini menjadi pekerja.

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Johor melalui JKM sentiasa prihatin kepada golongan OKU dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan OKU ini terpelihara. Program Perkhidmatan Job Coach telah diperkenalkan untuk menggalak pekerjaan kekal kepada OKU di pasaran pekerjaan terbuka melalui pendekatan sokongan pekerjaan oleh Job Coach. Di Malaysia, bermula sejak 2012 di mana Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Japan International Corporation Agensy, JICA telah menjalinkan projek kerjasama iaitu dengan izin, Project To Support Participation Of Person With This Abilities Phase 2, pada 1 September 2012 hingga 31 Ogos 2015. Tujuan projek ini adalah untuk menggalakkan penyertaan OKU dalam masyarakat melalui sokongan pekerjaan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Job Coach adalah individu yang berpengalaman dalam memberi sokongan kepada OKU dan telah menghadiri kursus asas Job Coach. Job Coach menjadi penghubung antara OKU dan majikan dengan menyediakan sokongan untuk kedua-dua belah pihak. Job Coach menawarkan sokongan secara one to one iaitu seorang Job Coach dan seorang OKU yang melibatkan tempoh masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan mengikut tahap keupayaan OKU tersebut. Dalam tempoh tersebut, Job Coach akan melaksanakan proses:

1. Penilaian OKU itu. 2. Penilaian tempat kerjanya. 3. Pemadanan kerja atau job matching. 4. Sokongan intensif. 5. Sokongan semula jadi. 6. Tindakan susulan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berdasarkan rekod semenjak perkhidmatan ini diperkenalkan sehingga ini, seramai 141 orang OKU di negeri Johor telah menerima manfaat dari perkhidmatan ini. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan ini dan memberi pendedahan dalam usaha memberi pendedahan dan melahirkan lebih ramai Job Coach agar lebih ramai OKU mendapat manfaat dari perkhidmatan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kursus asas atau pengenalan kepada Job Coach ini dengan kerjasama YPKDT, majikan dan NGO telah diadakan pada 29 hingga 31 Mei 2023. Selain itu, Bengkel Program Transisi Kerjaya, PDK kepada Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) dengan kerjasama Yayasan Gamuda juga telah dijalankan bagi memberi pendedahan kepada 133 peserta yang terdiri daripada penyelarasan daerah, penyelia dan petugas PDK.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Program Pemulihan Dalam Komuniti adalah salah satu program yang dijalankan oleh JKM untuk membantu Orang Kurang Upaya untuk memperolehi kemahiran, pendidikan, pekerjaan dan integrasi sosial. Program ini melibatkan kerjasama antara OKU, keluarga, komuniti dan agensi-agensi berkaitan. Berdasarkan pelan tindakan usahawan dan sosial JKM 2021 ke 2025, peranan PDK telah diperkasakan dengan pengenalan proses pemerkasaan ekonomi yang bertujuan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

Saya terus menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tangkak pagi tadi, bahawa program ini pada tahun 2022, kerajaan telah menurunkan peruntukan sebanyak RM432,513.20 untuk membantu menyuntik dana dan modal dalam menyediakan peralatan kepada Pemulihan Dalam Komuniti. Antara PDK yang terlibat adalah seperti PDK Benut, Pontian dengan peruntukan kewangan RM20,437.00; PDK DUN Senggarang, Batu Pahat dengan bantuan kewangan sebanyak RM8,000.00; PDK Mas Timur, Kota Tinggi dengan peruntukan sebanyak RM181,100.00; PDK Pekan Kahang dengan bantuan sebanyak RM9,986.00; PDK Permata Kasih, FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi dengan bantuan sebanyak RM61,357.00; PDK Permata Kasturi, Muar dengan bantuan kewangan RM20,000.00; PDK Sayangku Taman Yayasan, Segamat dengan RM18,525.00; PDK Sinar Bakti, Pontian dengan RM42,810.70; PDK Seri Cahaya, Bandar Kota Tinggi dengan bantuan kewangan sebanyak RM65,000.00 dan PDK Seri Gemilang, Kluang dengan bantuan kewangan RM5,075.00.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Tenang, Yang Berhormat Maharani, Yang Berhormat Pemanis yang mencadangkan kenaikan elaun penyelia dan petugas PKPDK. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan pada penyelia, petugas dan pelatih PDK di Johor dan sentiasa mengambil kira kebajikan mereka.

Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat memahami dan cadangan kenaikan oleh Yang Berhormat memandangkan kenaikan elaun oleh kerajaan negeri adalah pada 2015 manakala kerajaan persekutuan adalah pada tahun 2021. Cadangan-cadangan Ahli-Ahli Yang Berhormat akan diperhalusi.

Untuk makluman Yang Berhormat Pemanis, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah mengenepikan penyelia dan petugas PDK. Sehingga kini, Kerajaan Negeri Johor sentiasa memberi bantuan khas kewangan kepada semua penyelia dan petugas PDK di seluruh Johor. Terima kasih atas prihatin Yang Berhormat, insya-Allah, niat tulus Yang Berhormat ini, insya-Allah, Allah permudahkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam usaha menggalakkan majikan mengambil OKU bekerja, kerajaan telah memberikan keistimewaan dari segi perbelanjaan yang dibenarkan untuk potongan bercukai kepada majikan adalah seperti potongan berganda, potongan bagi menggaji OKU dan potongan bagi cukai latihan yang diluluskan dan potongan tunggal khas iaitu pengubahsuaian bangunan dan keperluan alat sokongan OKU. Potongan tunggal, Single Deduction Sub Section 34(6)(E), Akta Income Tax (X) 1967, dengan izin diperuntukkan di bawah Peruntukan Khas. Berdasarkan rekod seramai 1,017 majikan telah mengajikan OKU di dalam perkhidmatan Job Coach di seluruh Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, setakat ini sahaja yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan libatkan jabatan di bawah Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa soalan yang telah saya jawab dan saya akan memastikan setiap soalan berbangkit dari Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak sempat saya jawab pada hari ini akan diberikan secara bertulis.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah portfolio wanita, keluarga dan masyarakat yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugas yang dipertanggungjawabkan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sekian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Serom. Dijemput Yang Berhormat Tenggaroh. Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan , Alam Sekitar, Warisan dan Budaya.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam sejahtera dan salam Bangsa Johor dan salam Maju Johor. Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Di kesempatan ini patik ingin merafak ucapan sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Tak’zim di atas Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2023. Dan patik juga ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di atas pemilihan yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian.

Di samping itu, patik juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim memenangi kejohanan bola sepak di peringkat Piala FA, Piala Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia yang akan dilaksanakan pada 8 Disember 2023 nanti. Semoga pasukan JDT terus mengungguli kejayaan-kejayaan yang akan datang. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama. Semoga pengurniaan ini akan menambahkan lagi semangat Yang Amat Berhormat Dato’ dalam meneruskan impian untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang bersesuaian dengan slogan ‘Maju Johor’. Buah berangan di rumput pisang, sayang merbah di pohon cemara, Ahli Dewan selamat bersidang, giliran saya bermula bicara.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menyentuh pada Belanjawan Johor 2024 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tempoh hari, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas peruntukan bajet di bawah portfolio saya. Saya amat berbesar hati dengan pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di mana kerajaan negeri telah mensasarkan kedatangan 12 juta pelancong ke negeri Johor sempena tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Justeru, saya amat berterima kasih sekali lagi dengan bajet yang disalurkan melalui Teras Kedua Maju Johor dalam Strategi Tiga iaitu Inisiatif Satu iaitu penambahbaikan infrastruktur pelancongan. Kerajaan negeri telah memperuntukkan peruntukan sebanyak RM67.6 juta bagi melaksanakan 15 projek yang perlu disegerakan bagi menghadapi Tahun Melawat Johor 2026. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Manakala dalam Teras Kelima iaitu keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar, terdapat empat strategi dan sebelas inisiatif yang menjadi keutamaan buat negeri dan saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memperuntukkan sebanyak RM1.65 juta bagi kelestarian dan alam sekitar dan RM30 juta bagi pengurusan banjir dan saliran.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menerusi Persidangan ini saya telah lihat di dalam Dewan yang mulia ini dengan pelbagai maklum balas yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahupun teguran yang dilontarkan. Saya telah ambil maklum perkara-perkara tersebut. Selain itu, saya juga telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan. Saya dapati banyak isu-isu berkaitan banjir dan juga isu pelancongan yang menjadi antara topik utama dalam perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Setiap maklum balas yang diberikan kepada saya, saya ambil dan menerima

dengan berlapang dada dan suka hati saya untuk menjawab soalan-soalan tersebut pada petang ini.

Menjawab isu pelancongan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya menyentuh dahulu isu-isu yang dibangkitkan berkaitan pelancongan. Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026, salah satu perkara yang akan diberi keutamaan oleh kerajaan negeri adalah dengan menambah baik fasiliti produk-produk pelancongan negeri Johor. Ini termasuklah produk-produk pelancongan yang berasaskan alam semula jadi kerana ia merupakan salah satu tarikan utama pelancongan ke negeri Johor seperti Taman Negara Johor Endau – Rompin Peta, Taman Negara Johor Tanjung Piai, Taman Negara Johor Gunung Ledang, Taman Eko Rimba Sungai Bantang dan Gunung Belumut. Kerajaan negeri turut mengambil kepentingan dengan pemain-pemain industri yang harus dibantu. Oleh itu, kerajaan negeri juga mempunyai perancangan untuk memperkasa kualiti perkhidmatan modal insan sektor pelancongan negeri Johor dengan memperbanyakkan penganjuran program latihan atau kursus dan program kesedaran pelancongan kepada penggerak-penggerak industri pelancongan negeri Johor seperti pekerjaan pekerja barisan hadapan, frontliner dengan izin, pemandu pelancong, penjawat awam atau swasta dan sebagainya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sekadar pemakluman kembali, Taman Negara Johor Pulau Kukup dijangka akan beroperasi semula pada Januari 2024, setelah penyerahan tapak projek oleh IRDA. Saya yakin dengan pembukaan Pulau Kukup ini pada awal Januari 2024, ia dapat mengurangkan kegusaran YB Kukup agar pulau ini kembali beroperasi kerana bimbang para pelancong lupa di mana letaknya pulau ini. Kami juga telah menyusun promosi-promosi yang boleh dibuat di Pulau Kukup ini dengan mengambil kira untuk menghangatkan pertandingan atau temasya yang berprestij seperti pertandingan Jong yang sekali gus dapat menaikkan sektor pelancongan di kawasan ini.

Seterusnya Yang Berhormat Jementah mengutarakan permohonan agar kerajaan negeri dapat merencanakan satu mekanisme yang strategik bagi Pelan Pelancongan Johor dan Segamat melalui perkembangan penggunaan Internet.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, ada azan.

(Persidangan berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Tidak dinafikan bahawa perkembangan penggunaan Internet pada masa kini menjadi medium terbaik dalam menyebar luas dan berkongsi informasi dengan jutaan manusia di samping mewujudkan hubungan di antara satu sama lain. Selain itu penyebaran dan perkongsian maklumat juga dapat dibuat dengan mudah, cepat dan lebih berkesan serta menarik kerana berdasarkan pengalaman sebenar influencer, dengan izin.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Tourism Johor telah pun menggunakan kaedah ini sebagai salah satu pendekatan bagi memasarkan dan mempromosi produk serta perkhidmatan pelancongan negeri Johor. Antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah pertama, penggambaran Program Majestic Johor yang ditayangkan di ASTRO di mana penggambaran ini dibuat di 10 daerah negeri Johor dan melibatkan seramai 15 orang selebriti. Sepanjang penggambaran ini berlangsung, para selebriti akan turut membuat perkongsian dengan peminat mereka di media sosial mereka.

Kedua, penganjuran acara Johor Food Festival 2023 yang melibatkan 30 orang selebriti dan penganjuran acara Majestic Johor Festival 2023 yang melibatkan 60 orang selebriti di mana selebriti ini akan memuat naik aktiviti mereka di sepanjang acara ini berlangsung di media sosial mereka.

Ketiga, penganjuran familiarization trip dengan izin di mana influencer akan dibawa melawat ke beberapa tarikan pelancongan negeri Johor. Pada tahun ini, Tourism Johor telah melaksanakan familiarization trip melibatkan influencer dari Johor, Kuala Lumpur, Brunei, China, India, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Keempat, memberi pengiktirafan kepada influencer, pelancongan influencer, dengan izin award pelancongan terbaik di dalam Johor Tourism Award. Ia bertujuan bagi menggalakkan lebih ramai influencer untuk memasarkan produk pelancongan di negeri Johor. Begitu juga dengan usaha-usaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan fasiliti hospital bagi Medical Tourism Negeri Johor. Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi seperti Tourism Johor telah pun menggerakkan untuk memperkasakan pelancongan perubatan negeri Johor. Antara usaha-usaha tersebut adalah:

1. Menubuhkan Johor Medical Tourism Committee (JMTC) yang berperanan sebagai penasihat, pemudah cara, perancang hala tuju strategi dan Pelan Tindakan Pelancongan Perubatan Negeri Johor.

2. Memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan Malaysian Healthcare Travel Council (MHTC).

3. Mewujudkan video pelancongan perubatan negeri Johor.

4. Mempergiatkan kempen promosi produk dan perkhidmatan pelancongan kesihatan negeri Johor melalui media sosial; dan

5. Menyebar luas pemasaran produk dan perkhidmatan kesihatan negeri Johor melalui pameran pelancongan di dalam dan di luar negara seperti Johor Travel Expo 2022 pada 1 hingga 3 Julai 2022 dan Vietnam International Travel Mart pada 9 hingga 17 Disember 2022.

Kerajaan negeri melalui Tourism Johor dan agensi-agensi berkaitan secara berterusan akan mempertingkatkan lagi usaha untuk memperkasa pelancongan perubatan negeri Johor.

Bagi soalan yang diberikan oleh Yang Berhormat Mengkibol, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai pengecualian visa bagi pelancong China dan India. Dengan pengumuman ini, kami telah mempunyai rancangan untuk menambah penerbangan secara terus daripada China dan juga India. Kita akan berbincang dengan lebih banyak industri penerbangan agar lebih banyak penerbangan direct daripada China dan India dapat hadir ke Johor. Jalinan kerjasama dengan agensi penerbangan akan dibuat bagi menambah beberapa tempat baru di China mahupun India.

Menjawab isu pengurusan banjir dan saliran, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sering kali pada Dewan, sidang Dewan, isu banjir sering dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Menjawab kepada Yang Berhormat Jementah dan juga Yang Berhormat Bekok, kita telah mengalami keadaan yang pahit pada awal tahun ini dengan isu banjir. Yang menjadi harapan kepada semua Bangsa Johor agar perkara ini tidak berulang setiap tahun. Setelah berhadapan dengan pengurusan bencana yang memudaratkan dengan dalam keadaan iklim yang selalu berubah, kerajaan negeri bertekad memberi tumpuan mengenai isu perubahan iklim dan pengurusan bencana di Johor dengan lebih fokus.

Syabas dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita kerana bertungkus lumus mencari jalan penyelesaian bagi isu ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim bagi perancangan dan permohonan dana bagi mengatasi isu

tersebut. Sebanyak 6 projek tebatan banjir (RTB) jangka panjang dan dalam peringkat pra pelaksanaan dan 5 projek tebatan banjir jangka sederhana dalam pelaksanaan di negeri Johor oleh agensi kerajaan yang melibatkan kos keseluruhannya sebanyak RM1.842 bilion. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Untuk mendapat penelitian dan perancangan perubahan iklim serta pengurusan banjir yang lebih efektif, Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita dengan persetujuan Dewan Undangan Negeri Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana. Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama agensi dan jabatan yang terlibat serta beberapa lawatan kerja termasuk lawatan ke Singapura bagi mendapatkan input yang terbaik bagi penyelesaian isu banjir ini. Hasil kajian Jawatankuasa ini juga telah dibentangkan pada Persidangan Dewan yang lalu di sini. Terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Pemanis selaku Pengerusi Jawatankuasa ini dan ADUN-ADUN yang terlibat bagi merumuskan kertas mesyuarat dan memberi gambaran untuk menangani isu ini dalam masa yang cukup singkat.

Bagi menjawab soalan YB Bentayan, kerajaan negeri mengambil serius atas cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana Negeri Johor dengan mengambil kira cadangan-cadangan tersebut dalam penyediaan Belanjawan Johor 2024. Antaranya ialah:

1. Penubuhan Johor Sustainability Centre yang telah pun direalisasikan dan dilancarkan penubuhannya sempena penganjuran APCW baru-baru ini.

2. Peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan pembangunan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran meliputi belanja mengurus, peruntukan pembangunan dan serta peruntukan MARRIS.

3. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah mengumumkan RM12 juta bagi memastikan penyelenggaraan parit-parit di kawasan pertanian dan kampung diurus dengan lebih baik, di mana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung akan kembali diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara gotong-royong di bawah seliaan JPS.

4. Penyerahan peruntukan kepada Tabung Amanah Bencana Negeri bagi peruntukan kecemasan semasa bencana; dan

5. Kerajaan negeri akan memberi sokongan kepada permohonan peruntukan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia Negeri Johor (MET Malaysia) kepada kerajaan persekutuan bagi penambahan 33 Stesen Meteorology Automatic Auxiliary bagi membolehkan data cuaca dicerap di seluruh negeri Johor.

Di samping itu, Kerajaan Negeri Johor juga melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor sentiasa komited bagi memastikan pengurusan bencana negeri Johor berada dalam keadaan bersiap bersedia dan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Persiapan dari setiap agensi kerajaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) adalah seperti berikut:

1. Seramai 11,152 anggota dari agensi responder atau penyelamat, 1,265 anggota daripada agensi sokongan dan 706 anggota dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta seramai 628 anggota dari beberapa organisasi bukan kerajaan di negeri Johor yang akan digerakkan ketika berlakunya bencana Monsun Timur Laut.

2. Sebanyak 560 aset air pelbagai jenis, 996 aset darat pelbagai jenis dan 1 aset udara helikopter dari pelbagai agensi dan organisasi di negeri Johor yang boleh digerakkan sekiranya bencana berlaku.

3. Sebanyak 874 hotspot banjir telah dikenal pasti melibatkan semua kawasan dalam setiap daerah di negeri Johor; dan

4. Beberapa latihan dan bengkel persediaan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir telah dilaksanakan dari pelbagai peringkat seperti latihan dalam agensi, latihan antara agensi. Sebagai contoh, latihan amal simulasi bencana tsunami yang telah dijalankan di daerah Mersing pada 5 September 2023 lalu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan organisasi luar iaitu PDRM, APM, JBPM, JKM, RELA, Ihsan Johor, Southern Volunteers dan lain-lain agensi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya kagum dengan cara kerja Yang Berhormat Sri Medan, pasal tu dipilih tiga kali berturut-turut sebagai Wakil Rakyat. Bila dia bersuara pasal isu banjir di Sri Medan, Sri Medan adalah antara kawasan yang paling terkesan semasa banjir kali ini. Bagi menjawab Yang Berhormat Sri Medan untuk isu banjir, tindakan JPS telah pun merangka dan melaksanakan pelan jangka masa pendek bagi mengurangkan keadaan banjir di DUN Sri Medan dengan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit berdasarkan pada peruntukan yang terhad. Namun lebih daripada RM1 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan. Tidak kerana itu, projek RTB jangka sederhana juga telah diluluskan dan dalam pelaksanaan di Sri Medan dengan peruntukan sebanyak RM48.5 juta.

Baru-baru ini saya bersama pasukan JPS Johor dan Pejabat Menteri Besar Johor telah berjumpa dengan Ketua Pengarah JPS Malaysia bagi mendapatkan perkembangan projek-projek RTB yang telah diumumkan untuk negeri Johor. Pihak kami juga telah memohon agar pelaksanaan projek-projek ini dipercepatkan dan juga termasuk projek di Sri Medan juga. Kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu agensi pusat demi kebaikan Bangsa Johor. Semua inisiatif dan tindakan daripada kerajaan negeri menunjukkan betapa serius dan prihatin terhadap isu banjir ini.

Menjawab persoalan pencemaran dan ganggungan hidupan luar, liar. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada isu-isu alam sekitar terutamanya isu pencemaran. Menjawab soalan Yang Berhormat Panti mengenai isu pencemaran sungai, berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Terdapat dua stesen pengawasan manual di kawasan Panti iaitu di Sungai Panti dan Sungai Linggiu, indeks kualiti air Sungai Panti adalah 86 dan dikategorikan sebagai bersih manakala indeks kualiti air bagi Sungai Linggiu ialah 92 dan dikategorikan sebagai bersih juga. Selain itu, terdapat stesen pengawasan automatik sungai yang terletak di Sungai Johor bagi memantau kualiti air sungai sebelum memasuki Loji Rawatan Air Semanggar. Yang pasti stesen pengawasan automatik ini, pematuhan 100% atau lebih kepada kualiti air kelas 2.

Kerajaan negeri ambil maklum kebimbangan yang diutarakan oleh Yang Berhormat Bukit Batu berhubung dengan kualiti udara yang semakin teruk di sekitar Taman Puteri, Kulai. Untuk makluman Yang Berhormat, tindakan tegas seperti tahan operasi terhadap kilang-kilang yang menyebabkan pencemaran udara telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor. Jabatan akan terus memantau status kualiti udara dan mengadakan rondaan berkala ke kawasan yang kerap menerima aduan pencemaran.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, menyentuh mengenai topik konflik alam sekitar dan manusia, bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kahang, kerajaan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor

mengambil berat ke atas masalah hidupan liar. Jabatan juga telah melakukan pelbagai usaha yang praktikal dalam urusan spesies, Kerajaan Negeri Johor terutamanya apabila ia telah menimbulkan konflik antara manusia dan gajah atau human-elephant conflic dengan izin, di dalam negeri Johor. Gangguan hidupan liar ini bukan sahaja tertumpu di kawasan-kawasan pertanian malah di kawasan penempatan yang berhampiran habitat asal hidupan liar ini. Bagi daerah Kluang ia merupakan daerah yang kerap mendapat aduan berkaitan konflik gajah-manusia. Hal ini kerana kawasan tersebut berdekatan dengan habitat dan koridor laluan gajah. Ini termasuk juga di kawasan DUN Kahang sebanyak 33 aduan konflik gajah-manusia diterima dari Januari hingga Oktober pada tahun 2023 di daerah Kluang. Pihak Jabatan PERHILITAN telah mengenal pasti kumpulan gajah di Taman Negara yang sering memasuki kawasan DUN Kahang dengan anggaran 25 hingga 30 ekor. Sehingga kini, sebanyak 120 operasi kawalan telah dilaksanakan di daerah Kluang. Dalam menangani konflik hidupan liar ini, Jabatan PERHILITAN telah menjalankan pelbagai usaha mitigasi bagi mengatasi dan mengurangkan jumlah aduan daripada orang ramai yang diterima setiap hari dengan kaedah-kaedah seperti kawalan dan pemantauan pengurusan populasi secara terancang, tembak halau, tangkap-pindah gajah, pembinaan parit gajah dan pembinaan sistem pagar elektrik untuk tindakan jangka pendek dan sederhana.

Bagi tindakan jangka panjang pula, Jabatan PERHILITAN sedang membangunkan kawasan makanan gajah atau elephant food bank di dalam koridor supaya kumpulan gajah akan tertumpu di situ untuk mencari makanan. Selain itu, dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Johor dan universiti awam, kerjasama ini sedang menjalankan kajian mitigasi serta mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan elephant food bank tambahan di dalam kawasan koridor gajah. Bagi kebun-kebun yang mengalami kerugian akibat aktivti gajah, saya akan berbincang dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

Manakala menjawab pada soalan Yang Berhormat Penggaram mengenai isu monyet dan kera. Sebagai makluman Yang Berhormat, sehingga Oktober 2023 sebanyak 137 aduan berkaitan kacau ganggu spesies kera yang telah direkodkan di daerah Batu Pahat. Ini juga termasuk di dalam kawasan DUN Penggaram sebanyak 22 aduan. Spesies kera telah beradaptasi dengan persekitaran perbandaran dengan menjadikan kawasan hijau sebagai habitat dan menjadikan sisa makanan serta tanaman pertanian sebagai sumber makanan. Kerana masa kini, Jabatan PERHILITAN telah melakukan langkah kawalan dengan pemasangan perangkap milik jabatan serta rutin kawalan populasi oleh kakitangan jabatan dengan 166 operasi dan tindakan juga telah dilaksanakan. Antara langkah lain yang boleh dicadangkan bagi mengurangkan konflik manusia-kera ialah memperkasakan perangkap komuniti, mewujudkan perangkap komuniti sama ada sumbangan Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkaitan atau persatuan penduduk adalah disarankan.

Menjawab isu kelestarian alam sekitar. Isu yang yang terakhir, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu alam sekitar agenda utama negeri Johor sebagai komitmen kerajaan Johor terhadap perubahan iklim. Johor telah menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya bagi Persidangan ASIA Pacific Climate Week (APCW) yang telah diadakan pada 13 hingga 17 November 2023 di PERSADA Johor. Tahniah kepada kerajaan negeri dan kerjasama pihak-pihak yang terlibat bagi menjayakan satu konvensyen bertaraf dunia di negeri Johor. Penganjuran APCW ini cukup menjelaskan terhadap kerajaan Johor terhadap kesan perubahan iklim dan kita ingin membawa inisiatif ini ke arah peringkat global, dengan izin, we are getting ready for the next level.

Johor sememangnya kaya dengan sumber teknologi hijau, ia berpotensi menjaga dan menjana tenaga mampan bagi penggunaan domestik dan antarabangsa. Bagi menjawab soalan YB, Yang Berhormat Simpang Jeram, Yang Berhormat Panti dan Yang Berhormat Penawar.bMajlis Rendah Karbon Negeri Johor telah dijenama semula sebagai Majlis

Pembangunan Hijau Negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bagi memacu Inisiatif Johor Green Deal. Johor Green Deal yang diselaraskan oleh BPEN Johor dan Pemodalan Darul Ta’zim memfokuskan kepada lima teras utama iaitu tenaga diperbaharui, iaitu dikenali sebagai tenaga solar.bKedua, stesen pengecas awam kenderaan elektrik (EV). Ketiga, perubahan iklim iaitu mitigasi banjir, guna tanah, alam sekitar. Keempat, bandar rendah karbon, dan kelima ialah industri. Johor Green Deal juga akan dibantu oleh Pusat Lestari Johor bagi menjayakan inisiatif kelima-lima teras tersebut, sebanyak 26 inisiatif yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dilaksanakan pada tahun yang akan datang. Menerusi penglibatan Johor Green Deal dan Pusat Kelestarian Johor, Johor bakal menerajui inisiatif hijau mesra alam dan tenaga yang boleh diperbaharui di mana ia dapat menjadikan sebuah kerajaan yang mampan dan lestari seperti mana cadangan-cadangan yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat Pemanis.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kesimpulan daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan, sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan keapda sesi sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua. Segala cadangan, buah fikiran yang dilontarkan kepada saya, sangat saya hargai dan alu-alukan. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Saya akhiri dengan serangkap pantun, bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, kalau tersilap tutur bicara, jemari disusun maaf dipinta. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh, selanjutnya dijemput Yang Berhormat Bukit Permai, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Johor negeri berdaya mampan, buminya berkat pemimpin budiman, giliran terakhir gulung perbahasan, terima kasih atas perhatian. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya jua dapat kita bersama-sama pada hari ini. Marilah kita turut sama melafazkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, teladan yang sentiasa menjadi pedoman buat kita ke akhir zaman. Sebelum meneruskan ucapan, terlebih dahulu izinkan patik untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim yang telah terpilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 serta Sempena Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November 2023 yang lalu, patik bersama sekalian warga Bukit Permai berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian kerabat diraja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada di dalam keadaan sihat walafaiat bagi menaungi patik semua dan Bangsa Johor.

Patik dan seluruh DUN Bukit Permai juga ingin merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dipersembahkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan. Didoakan semoga Tuanku dapat melaksanakan tanggungjawab. Patik dan DUN Bukit Permai juga dengan hormat dengan takzimnya merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang telah membawa pasukan bola JDT jauh di puncak jaya. Dengan kejayaan merangkumi Piala Sumbangsih, Piala FA juga mengungguli kejuaraan Liga Super sepuluh kali berturut-turut dan insya-Allah dengan izin Allah, Piala Malaysia selepas ini. Kita sebagai rakyat Johor bukan sahaja bangga mempunyai raja yang bijaksana, penuh wawasan tetapi dijiwa rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar atas pengurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor. Saya juga ingin merakamkan jutaan tahniah kepada Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Dato’ atas pembentangan Bajet Johor 2024 yang bertemakan, “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat”, pada hari Khamis yang lalu.

Belanjawan yang selari dengan Agenda Maju Johor yang digagaskan tahun lalu iaitu impian melihat negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030, yang menampilkan 6 teras, disertakan dengan dokongan strategi dan inisiatif yang kompleks ini begitu inklusif dan holistik bertepatan dengan ikhtiar ke arah negeri maju maka besarlah harapan untuk melihat segala strategi dan inisiatif kepada setiap teras dapat direalisasikan dan dijayakan pada tahun hadapan. Sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka. Tahniah sekali lagi saya ucapkan. Dipacu tidak berpelana, pelana datang dari selati, dipimpin oleh bijaksana, bijaknya boleh kita lihati.

Y Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, sahabat sahabat ADUN Barisan Nasional, ADUN pasukan pengimbang juga ADUN pembangkang yang telah membahaskan isu perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor. Penghargaan ikhlas juga daripada saya kepada semua yang telah memberikan cadangan dan pandangan, syor dan rujukan, serta idea dan teguran. Hari ini saya akan menggulung isu-isu yang berbangkit oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat walaupun saya tidak dapat menjawab kesemuanya dengan kekangan masa. Saya mengalu-alukan Ahli Ahli Yang Berhormat datang ke pejabat saya atau saya sendiri akan turun ke lapangan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya sedar dan insaf, tempoh satu tahun 8 bulan, 9 hari atau bersamaan 619 hari memegang jawatan dan memikul amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bukanlah sesuatu yang mudah. Mendengar perbahasan sahabat-sahabat ADUN membawa suara dan harapan rakyat maka begitulah juga kami barisan EXCO di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mencuba sehabis baik memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Johor. Kata adat kata berisi, tidak ada kata terbuang, kita berpadu demi negeri, untuk Johor terus terbilang.

Perumahan, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saban-saban ADUN yang berbahas majoritinya menyatakan harapan yang tinggi agar diperbanyakkan penawaran dan pembinaan rumah mampu milik di kawasan mereka, juga permintaan untuk dibina PPR atau RSK di kawasan mereka. Jika besar harapan Yang Berhormat semua, besar juga harapan saya. Begitu juga harapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana kami juga seorang Wakil Rakyat. Apatah lagi rumah adalah keperluan asas, rumah adalah bermulanya cinta, rumah adalah bermulanya kejayaan sebuah keluarga, negara, bangsa dan tamadun. Yang Amat Berhormat juga sentiasa mengingatkan saya, bahawa agenda perumahan harus menjadi paling utama yang perlu diselesaikan secara tuntas. Atas iltizam itulah Kerajaan Negeri Johor komited memastikan setiap rakyat Johor berpeluang memiliki rumah. Malah hal membina rumah tidak lagi boleh dilihat sebagai tujuan ekonomi semata-mata tetapi ianya merupakan tanggungjawab manusiawi yang sentiasa menjadi keutamaan.

Dengan cadangan dan sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat atas setiap usaha kerajaan, dengan kebersamaan semua pihak maka impian untuk menyediakan rumah kepada rakyat, semua rakyat Johor segala isu yang sukar dapat dipermudahkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan semua yang ada di dalam sidang Dewan, usaha menyediakan rumah ini pastinya pahala berpanjangan buat kita semua nanti. Jawatan dan pangkat hanya sementara, pahala dan amalan berpanjangan yang akan jadi bekalan selama-lamanya. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan belanjawan, sasaran rumah siap dibina untuk 2024, tahun hadapan adalah sebanyak 5,134 unit, 30,000 unit rumah menjelang tahun 2026. Saya dan pasukan PKPJ sedar bahawa angka 30,000 ini adalah tidak mencukupi untuk 56 DUN, 16 PBT dan 10 daerah di dalam negeri Johor.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sentiasa mengingatkan saya untuk memastikan rumah mampu milik dibina di setiap DUN Parlimen dan daerah tetapi untuk memastikan ada pembinaan rumah mampu milik sama ada oleh pemaju, oleh pihak kerajaan melalui GLC negeri atau kerajaan persekutuan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipenuhi.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, antara perkara utama yang perlu difahami juga untuk sesebuah kawasan dibangunkan rumah mampu milik bukan hanya perlu melihat kepada demand atau permintaan tetapi juga perlu ada pemaju yang mempunyai perancangan pembangunan di sesebuah kawasan. Ia juga perlu melihat sama ada tapak tersebut berdaya maju untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan perumahan.

Aspek keadaan tanah, ketersediaan infra serta kekuatan kewangan juga perlu dilihat. Tidak kira sama ada pihak pemaju ataupun pihak kerajaan negeri malalui kerjasama GLC. Atas sebab itulah seperti dibangkitkan oleh ADUN Gambir, ADUN Permas, ADUN Kemelah, ADUN Kukup dan ADUN Endau, terdapat projek yang telah dilaksanakan pecah tanah dan diuar-uarkan rancangan pembinaannya tetapi projek tidak dilaksanakan sehingga hari ini, atas berbagai faktor dan masalah teknikal termasuk masalah pemaju sendiri yang berkaitan dengan soal kewangan serta modal.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, semasa di peringkat awal saya diberi amanah sebagai EXCO Perumahan Johor pernah saya nyatakan di dalam Dewan yang mulia ini bahawa sejak 25 tahun yang lalu terdapat 153,000 rumah yang ada Kebenaran Merancang (KM) di peringkat 16 PBT untuk membina rumah mampu milik tidak dibina oleh pemaju. Hal ini kerana pemaju memberi banyak alasan, berbanding memenuhi keperluan rakyat. Atas sebab itu bagi memastikan pemaju melaksanakan pembinaan komponen 60% rumah pasaran bebas wajib setara membina 40% rumah mampu milik.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berhadapan dengan pemaju yang merupakan golongan orang meniaga yang sentiasa ingin mengekalkan keuntungan bukanlah kerja yang mudah. Rundingan melalui task force PDRC yang dianggotai oleh bukan sahaja saya dan PKPJ tetapi juga Pejabat Tanah, SUKT, PBT, PlanMalaysia dan semua agensi teknikal negeri dan pusat untuk mengikat komitmen pemaju agar pembinaan rumah mampu milik direka setara dengan pembinaan rumah pasaran bebas.

PKPJ ketika ini, kita mempunyai sebuah sistem yang bagus, alhamdulillah, semua pemaju perumahan perlu mendaftarkan senarai rumah mampu milik mereka untuk ditawarkan dalam sistem e-Rumah Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, semenjak PDRC ditubuhkan sebanyak 17 PDRC telah dilaksanakan dengan rundingan melibatkan 69 pemaju. Perbincangan berkenaan 50 projek perumahan berjaya mengikat pemaju untuk membina 14,704 unit rumah mampu milik di 10 daerah, di 16 PBT negeri Johor dan ada projek yang telah berusia 15 tahun yang lepas tetapi tidak dilaksanakan yang termasuk dalam angka 153,000 yang saya nyatakan di awal tadi. Komitmen pemaju kami ikat dengan kaedah pendamaian dan ketegasan atau win-win dengan izin. Berhemah demi rakyat Johor, tetapi terdapat juga pemaju yang kami ambil tindakan di peringkat OSC PBT, dalam kelulusan projek dan menahan CCC. Terima kasih kepada Datuk-Datuk Bandar, Tuan-tuan YDP-YDP, Ketua-ketua WHIP serta Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan PBT yang memberi kerjasama dalam usaha ini. Insya-Allah semoga menjadi pahala berpanjangan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya sempat membuat pecahan rumah mampu milik mengikut DUN. Yang telah siap pada tahun 2022 adalah 4,536. Tahun 2023 rumah mampu milik yang dah siap dan serah kunci 3,199. Yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk tahun hadapan, tahun 2024 ialah 5,123. Saya ada data untuk 2025 yang telah ada komitmen pemaju dan pada tahun 2026 yang telah ada komitmen daripada pemaju untuk membina rumah mampu milik.

Mungkin saya boleh sebut mengikut DUN. Dan insya-Allah untuk Persidangan tahun depan saya akan kongsikan maklumat ini awal kepada semua Wakil-wakil Rakyat. Kalau mengikut senarai yang saya ada, kalau mengikut DUN yang saya sebut ini yang ada rumah mampu milik daripada tahun 2022 sehingga 2026. Buloh Kasap, Kemelah, Gambir, Tangkak, Serom, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Maharani, Semerah, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Penggaram, Senggarang, Rengit, Machap, Layang-Layang, Mengkibol, Mahkota, Paloh, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Tanjung Surat, Tiram, Putri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu, Senai, Benut, Pekan Nanas dan Kukup. Kalau ikut rekod ini ada 40 rumah mampu milik di kawasan 40 DUN. Ada lagi baki 16 DUN insya-Allah kita akan usahakan.

Dari Bera hilir ke Pekan, membawa buah berangan, selesai sudah agenda Perumahan, saya beralih ke Kerajaan Tempatan. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bagi portfolio Kerajaan Tempatan ada beberapa ADUN membahaskan isu penilaian cukai di lima PBT yang sedang proses penguatkuasaan. Saya mengambil maklum berkaitan penyelarasan kadar cukai di lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Perbandaran Pengerang, yang sering dibangkitkan dalam perbahasan Ahli Dewan sekalian.

Sebelum saya menyentuh dari aspek proses pelaksanaan kenaikan cukai ini saya ingin kongsikan jumlah keseluruhan bantahan yang diperolehi daripada 800,704,041 pegangan atau hak milik untuk 5 PBT. PBT telah menerima 19,894 bantahan iaitu bersamaan 2.46% bantahan diterima. Kalau mengikut pecahan Majlis Bandaraya JB, MBJB memiliki pegangan 351,149, bantahan 4,495 atau 1.28%.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri jumlah pegangan 254,118, bantahan 3,806 atau 1.5%. Majlis Bandaraya Pasir Gudang pegangan berjumlah 98,803, jumlah bantahan 5,088 atau 5.15%. Bagi Majlis Perbandaran Kluang 82,703 pegangan, jumlah bantahan 5,452 atau 6.59%, bagi Majlis Perbandaran Pengerang jumlah pegangan 20,668, jumlah bantahan 1,053 atau bersamaan 5.09%. Daripada jumlah keseluruhan 5 PBT ini, jumlah keseluruhan adalah 807,441 jumlah pegangan dan jumah bantahan adalah 19,894 atau bersamaan 2.46%.

Daripada keseluruhan pegangan iaitu 807,041, jumlah keseluruhan untuk 5 PBT ini terdapat 326,720 atau bersamaan 40% yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai dan tidak ada kenaikan, 40%. Ini menunjukkan bukan semua pegangan yang terlibat dengan kenaikan cukai. Saya ingin kongsikan penyumbang utama hasil cukai bagi 5 PBT. Pertama MBJB penyumbang yang peratus paling tinggi adalah perdagangan 40%, perumahan 21%, pangsapuri 18%, perindustrian 16%, perumahan rakyat 1.4%, lain-lain 1.7%. Maknanya ini hasil maknanya berbeza di peringkat PBT dari segi hasil, penyumbang hasil bagi setiap pegangan itu.

Bagi Iskandar Puteri pula, tadi MBJB perdagangan 40%, di Iskandar Puteri, perdagangan 32%, perumahan 31%, pangsapuri perkhidmatan 14%, industri 12%, pelabuhan 4.8%, lain-lain 5.7%. Bagi Pasir Gudang, Pasir Gudang industri berat sahaja 40.5% Pasir Gudang, perindustrian sederhana 19% maknanya 2 pegangan ni sahaja telah menyumbang hasil kepada Pasir Gudang 60%, rumah bukan strata kos tinggi 9%, perdagangan 9%, tanah kosong perindustrian 3.8%, perindustrian ringan 2.9%, infra 2%, rumah teres 2%, tanah

kosong perumahan 2%, lain-lain 7.9%. Bagi Majlis Perbandaran Pengerang, Pengerang kawasan industri. Perindustrian berat sahaja 79%, 79%, perindustrian sederhana dan ringan 6.7%, perdagangan 6%, perumahan 3.6%, pertanian 3% dan lain-lain 1.7%. Majlis Perbandaran Kluang, tempat Mengkibol tapi saya tidak akan marah you lah.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat jangan tinggalkan saya.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Ya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Untuk Majlis Perbandaran Kluang, perumahan ya, perumahan 45%, that’s why dekat Kluang ini, kalau tidak ada kenaikan untuk perumahan maksudnya Kluang itu tidak ada hasil. Sebab itu dia meliputi perumahan sahaja 45%, berbeza tadi dengan Pengerang. Pengerang hampir lebih 80% hasil itu dibayar oleh industri berat dan industri ringan. Jadi di peringkat permulaan dia dapat rate yang lebih rendah. Sebab itu kita tidak boleh bandingkan antara Perbandaran dengan PBT yang lain dan kawasan yang berbeza-beza.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, penilaian semula yang dilaksanakan oleh lima PBT, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kluang dan Pengerang adalah selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 137 (3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Untuk makluman semua, kali terakhir PBT melaksanakan penilaian semula adalah pada tahun 2013, 2013, 10 tahun yang lepas di mana kadar cukai yang dikenakan sekarang telah diguna pakai selama 10 tahun dan tiada penilaian semula kadar dibuat dalam tempoh tersebut. Walaupun dari aspek perundangan memerlukan PBT melaksanakan penilaian semula setiap lima tahun, kenapa perkara ini berlaku?

Kerajaan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan, MMK pada 25 September 2019 melalui Ringkasan Mesyuarat Bilangan 1534/2019 telah bersetuju semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor melaksanakan kerja-kerja penilaian semula memandangkan senarai nilaian sedia ada serta kadar cukai yang dilaksanakan telah melebihi tempoh lima tahun penggunaannya. Selain itu, keputusan kerajaan negeri pada tahun 2019, 2019 untuk melaksanakan penilaian semula adalah selaras dengan kenyataan meminda pada 21 Disember 2019 oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau KPKT ketika itu ke semua 155 Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT di seluruh negara akan diwajibkan membuat penyelarasan kenaikan cukai-cukai perkhidmatan di bawah bidang kuasa mereka bagi setiap lima tahun bermula tahun hadapan, tahun 2020.

Walau bagaimanapun, walau bagaimanapun, kerajaan prihatin dengan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2019 menyebabkan perancangan PBT untuk melaksanakan kerja-kerja penilaian semula cukai dikaji semula. Lanjutan itu, Kerajaan Negeri Johor pada 7 Oktober 2020 telah menimbangkan Ringkasan Mesyuarat Bilangan 1129/2020, telah bersetuju melaksanakan penilaian semula PBT diteruskan. Walau bagaimanapun, tarikh penguatkuasaan cukai adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan. Dengan perbezaan 10 tahun kerja-kerja penilaian semula dilaksanakan daripada 2013, sekarang 2023, terdapat peningkatan nilaian ketara bagi harta-harta di kawasan PBT berdasarkan pembangunan yang pesat, aktiviti ekonomi yang rancak serta kedudukan harta tersebut di kawasan-kawasan tertentu yang membangun. Selain itu, PBT juga mengambil kira ubah, tambah bangunan yang telah lebih 10 tahun dan kediaman yang telah dibuat oleh pemilik harta, namun begitu terdapat juga harta-harta yang mempunyai penurunan nilai mengikut kawasan tertentu. Saya nak maklumkan dalam Dewan yang mulia ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bantahan ini bukan setakat bantahan disebabkan kenaikan. Ada juga bantahan sebanyak 10% dia bantah tapi nilai hartanah dia turun, dia tanya PBT kenapa servis apartmen ini nilainya turun, dulu saya bayar harga, bayar RM200.00 setahun tapi sekarang RM150.00. Kenapa? Itu pun mereka buat bantahan.

Secara keseluruhannya, peningkatan nilai hartanah di lima PBT adalah sebanyak RM167 bilion. Maknanya daripada 2013 sehingga 2020, selepas tujuh tahun ini tempoh kenaikan, tempoh nilai hartanah, harga hartanah RM167 bilion untuk lima PBT ini iaitu peningkatan 43.4% berbanding tahun 2013. Maknanya daripada 2013 sehingga 2020, penilaian nilai hartanah telah meningkat 43%. Peningkatan nilaian ini juga adalah berdasarkan nilai pada tahun 2020. Kita guna penilaian ini 2020, bukan 2023. Sekiranya PBT menggunakan aras nilaian yang terkini iaitu pada tahun 2023, nilaian setiap hartanah akan meningkat dengan lebih tinggi lagi. Bagi mengimbangi kenaikan nilaian harta di PBT masing-masing, PBT telah menetapkan kadar cukai yang bersesuaian untuk semua pembayar cukai agar tidak menanggung kesan kenaikan yang ketara. Kadar yang ditetapkan oleh PBT adalah menggunakan Asas Nilai Tambah atau dengan izin, Improved Value berdasarkan Seksyen 130 (3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), kadar cukai yang dikenakan asas nilai tambah tidak melebihi 5%.

Walaupun akta membenarkan kadar cukai dikenakan maksimum sebanyak 5%, lima PBT Johor, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kluang, Pengerang, lima PBT ini pada masa ini masih menggunakan kadar cukai yang minimum dan tidak melangkaui 1%, akta 5%. Lima PBT ini below 5%, dengan izin. Dengan mengekalkan kadar cukai paling tinggi iaitu 0.7% untuk industri berat dan kadar terendah adalah pada 0.01%. Selain itu, PBT juga telah menetapkan agar kenaikan hasil cukai keseluruhan PBT tidak melebihi 20%, walaupun PBT terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang semakin meningkat daripada tahun ke tahun. Secara keseluruhannya, peningkatan hasil cukai selepas penilaian semula bagi lima PBT sebanyak RM166 juta atau bersamaan dengan 20.41% berbanding dengan peningkatan nilai hartanah RM167 bilion ataupun 43.4%.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akhir kata, sekali lagi nanti YB-YB yang saya tidak jawab itu boleh datang jumpa saya, insya-Allah. Sudah 30 minit. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sekali lagi terima kasih kepada keprihatinan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah menyatakan teguran, pandangan dan cadangan ke atas isu berkaitan perumahan dan Kerajaan Tempatan. Saya berharap penjelasan sebentar tadi telah menjawab segala persoalan serta dapat memberi gambaran yang lebih jelas terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat sepanjang tempoh perbahasan. Saya dan pasukan mengambil bahagian terhadap semua teguran dan pandangan yang telah diutarakan oleh setiap Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seterusnya insya-Allah, diterjemahkan melalui tindakan yang sewajarnya.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam langkah perjalanan kita terus mara ke hadapan, marilah kita beristiqamah serta mengambil iktibar dan ikhtiar, berpayung paksi dari titah Tuanku, setiap Wakil Rakyat wajar bermuhasabah diri kerana perjuangan kita tiada titik noktahnya dan tiada batas sempadan kaum, apa lagi agama. Kalau menyalin langsung menjawab, buatlah tanda supaya terang, kalau pemimpin bertanggungjawab, rakyat bahagia hidupnya tenang. Apa tanda kain pelikat, raginya halus dibentang lebar, apa tanda pemimpin rakyat, budinya halus orangnya sabar. Demikian juga buat rakyat dari segenap dimensi seluruh pelusuk negeri, bersatu kita demi Johor, kita kuat kerana kita bermuafakat, kita bermuafakat kerana kita kuat.

Akhir kata di ruang dan kesempatan ini saya dengan rendah diri mohon ampun dan maaf bagi pihak pasukan saya, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Kerajaan Tempatan, 16 PBT seluruh Johor dan PlanMalaysia. Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat Johor, sekiranya ketidaksempurnaan dari segi tugas dan perkhidmatan tempoh 1 tahun 8 bulan ini, insya-Allah menjelang tahun 2024 dan ke hadapan, setiap aspek perkhidmatan akan ditambah baik demi rakyat dan Johor tercinta. Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Bukit Permai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, orang yang hebat tunjukkan hasil, orang yang lemah berikan alasan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada hari Ahad 3 Disember 2023. Ahli Yang Berhormat, lembu liar lembu ditambat, lembu liar lagi ke pekan, perbahasan selesai penggulungan tamat, Persidangan ini saya tangguhkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga Ahad 3 Disember jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.15 petang.