Johor · 9 May 2024
3rd session, 1st meeting · 8 turns · 1,936 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor Memanggil Dewan Negeri Untuk Bermesyuarat.
Pemasyhuran oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Bahawasanya diperuntukkan oleh Pecahan Fasal (1) Fasal 23 dalam Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bahawa Raja hendaklah dari satu masa ke satu masa memanggil Dewan Negeri mengadakan mesyuaratnya.
Maka oleh yang demikian, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan sebagaimana di atas;
Dengan ini memanggil Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 9 Mei 2024 jam 9.30 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi memulakan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 yang akan diadakan di Dewan Persidangan, Dewan Negeri, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.
Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan JohorAddress / budget
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Ahli-Ahli Yang Berhormat, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini.
Bagi membolehkan kita menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di hadapan Tangga Agung Bangunan ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 10.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 9.40 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10.20 pagi.
Penolong Jurutulis : Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Sekali lagi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin-hadirin sekalian diingatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit dan meletakkan di mode senyap atau mematikan telefon bimbit.
Ahli-Ahli Yang Berhormat juga dilarang untuk mengambil sebarang gambar, video atau live feed semasa sidang Dewan berlangsung. Sekian, terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Sukacita saya memaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan berangkat masuk sebentar lagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Amat Mulia Tunku.
Ampun Tunku, Mufti Negeri Johor Mohon Perkenan Membaca
DOA. (Mufti Negeri Johor membaca doa).
DYAM Pemangku Sultan Johor : Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan Sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Semulia-Mulia Rasul serta keluarga dan sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah syukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada pagi ini.
Saudara saudari sekalian, hari ini merupakan satu hari yang bermakna buat saya kerana saya menyampaikan titah ucapan buat kali pertama sebagai Pemangku Sultan Johor pada Pembukaan Persidangan Bagi Dewan Negeri Johor.
Sebagaimana semua sedia maklum Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada tanggal 31 Januari 2024.
Saudara-saudari sekalian, adalah menjadi keutamaan saya untuk memastikan semua Bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja mereka, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor serta akses kepada kemudahan asas dan kemudahan kesihatan yang baik.
Saya sangat memahami keresahan Bangsa Johor dan situasi ekonomi global yang tidak menentu khususnya isu-isu peningkatan kos sara hidup, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan isu ketidakstabilan harga dan ingin saya mengingatkan anda semua ini juga adalah tanggungjawab terbesar anda sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri Johor untuk menjaga kebajikan Bangsa Johor. Tolong berkhidmat untuk rakyat dan jangan sesekali lupa tanggungjawab ini.
Saya ingin melihat kerajaan negeri meneruskan program-program menyantuni rakyat, agar kesejahteraan sosial terjamin untuk semua Bangsa Johor. Ini termasuk program bantuan sosial, pembangunan infrastruktur yang mencukupi dan inisiatif pendidikan inklusif meliputi semua peringkat masyarakat.
Saya menitahkan agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas tahun 2025. Dalam jangka masa 19 bulan yang akan datang sila cari dan kenal pasti di kawasan DUN anda siapa yang tergolong dalam kategori ini. Berikan segala bantuan yang diperlukan melalui agensi kerajaan, NGO ataupun swasta untuk membantu mereka.
Saudara-saudari sekalian, saya sering menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor. Pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan negeri ini dan penting bagi menyelesaikan pelbagai isu. Pendidikan yang berkualiti akan membuka lebih banyak
peluang pekerjaan bagi generasi yang akan datang. Saya berharap kerajaan persekutuan mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kualiti sistem dan fasiliti pendidikan.
Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan dengan memperbaharui silibus-silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi. Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional biarlah negeri Johor menjadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus-silibus di sekolah-sekolah di Johor. Jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti yang dilaporkan dalam laporan Bank Dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita dalam peperiksaan Programme For International Student Assesement maka kita tidak sepatutnya mengeluh sekiranya generasi masa hadapan kurang berdaya saing berbanding rakan sejagat mereka.
Inisiatif-inisiatif baru yang lebih proaktif akan membantu mempersiapkan golongan belia Johor untuk menghadapi cabaran masa depan. Dengan pembangunan pusat data berskala besar baharu di Johor, negeri ini berpotensi menjadi hab teknologi dan inovasi negara. Oleh itu, Johor memerlukan lebih ramai pelajar yang berkemahiran dalam teknologi dan terdedah kepada perubahan teknologi semasa. Saya ingin menzahirkan pada masa akan datang setiap anak Johor harus menamatkan pengajian di peringkat institut pengajian tinggi dan bukan lagi di peringkat sekolah menegah sahaja.
Saudara-saudari sekalian, setiap rakyat Johor berhak untuk menikmati kemudahan kesihatan yang baik tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Baru-baru ini saya telah melawat tapak Hospital Pasir Gudang dan saya dimaklumkan pemantauan projek ini bakal siap sepenuhnya mengikut jadual. Pembinaan hospital-hospital baharu ini perlu dilaksanakan dengan segera.
Saudara-saudari sekalian, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Dewan Negeri Johor kerana kini lebih matang dan lebih profesional dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat seterusnya tidak mencacatkan atau merencatkan ekonomi negeri ini, walaupun anda semua mempunyai idealogi dan fahaman politik yang berbeza-beza.
Walau bagaimanapun, suka saya mengingatkan bahawa setiap Ahli Dewan Negeri yang hadir perlu sentiasa menjaga imej masing-masing. Sebagai Wakil Rakyat yang dilantik, anda mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kredibiliti institusi Dewan Negeri Johor. Saya tidak mahu ada seorang pun ahli politik di Johor yang sewenang-wenangnya menyebarkan sentimen perpecahan kepada rakyat. Politik harus menjadi alat untuk menyatukan semua pihak, bukan memecah belahkan Bangsa Johor.
Saya ingin mengingatkan setiap pemimpin Johor untuk sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan. Tanggungjawab anda adalah untuk memastikan semua program dan projek yang dijalankan mempunyai impak positif kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
Selama beberapa bulan saya memegang amanah sebagai Pemangku Sultan Johor, saya berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar dan Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri setakat ini. Tetapi saya ingin melihat lebih banyak lagi usaha dan banyak inisiatif yang baharu. Saya berharap agar semua ADUN dalam Dewan ini bekerjasama untuk menjayakan projek serta program pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini.
Saudara-saudari sekalian, syabas saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Johor kerana telah menjana pelaburan sebanyak RM113.7 bilion dan mewujudkan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan baharu sejak 2022. Prestasi cemerlang ini menjadikan Johor sebagai salah satu destinasi utama bagi pelaburan serta menyumbang kepada kedudukan Johor sebagai pengimport dan pengeksport terbesar Malaysia setakat Mac tahun ini.
Saya ingin menyeru kerajaan negeri untuk memastikan prestasi ini dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang. Program dan inisiatif baru yang berkesan diperlukan untuk menarik lebih ramai lagi pelabur asing. Tambak Johor dan laluan kedua Malaysia–Singapura (Link Kedua) adalah penghubung penting bagi penduduk Johor, yang bekerja di Singapura dan warga Singapura yang berbelanja serta melabur di negeri Johor.
Baru-baru ini terdapat inisiatif penaiktarafan yang dibuat di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Namun masih terdapat banyak lagi kekurangan yang memerlukan perhatian serius. Saya ingin melihat isu-isu ini diselesaikan tanpa sebarang kompromi. Saya juga mahu melihat semua projek-projek infrastruktur seperti perumahan, pembangunan jalan raya dan projek tebatan banjir di Johor dibangunkan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.
Saya sangat kecewa baru-baru ini apabila menerima berita di Johor mengenai gangguan bekalan-bekalan air ketika Bangsa Johor sedang menyambut Hari Raya Aidilfitiri. Perkara seperti ini tidak boleh berlaku lagi pada masa hadapan. Sekiranya perkara ini masih berlaku, saya titah Kerajaan Negeri Johor agar tidak teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas kepada syarikat dan agensi yang terlibat. Saya ingin menegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang perlu dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab.
Saya menyeru Menteri Besar dan EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor untuk terus komited dalam menjalankan projek-projek yang dirangka untuk memastikan Johor mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Saudara-saudari sekalian, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri serta Kerajaan Persekutuan yang memilih Johor untuk pelaksanaan Zon Ekonomi Khas dan Zon Kewangan Khas. Saya percaya bahawa pelaksanaan inisiatif seperti SEZ dan SFZ ini akan memberikan dorongan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Johor. Saya turut yakin dengan pelaksanaan memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Johor serta Singapura dan akan meningkatkan kemakmuran serta kemajuan negeri Johor.
Sehubungan itu saya ingin menyeru para penjawat awam di Johor untuk meningkatkan produktiviti mereka secara efisien dan bekerja dengan lebih komited dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan projek-projek ini berjalan dengan lancar dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Saya berharap menjelang 2030 Johor akan bertranformasi sebagai salah satu hub ekonomi utama di rantau ini.
Saudara-saudari sekalian, saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil mudah isu sensitiviti agama. Justeru itu saya berharap tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dapat dilaksanakan bagi membendung perkara-perkara ini dari berlaku pada masa hadapan. Dan, ini merupakan peringatan saya yang pertama dan saya harap yang terakhir, jangan mengulangi perbuatan sama yang hanya akan meruntuhkan keharmonian bermasyarakat di Johor. Jangan sesekali gunakan agama sebagai alat politik.
Saudara-saudari sekalian, saya akan terus memantau prestasi kerajaan negeri dari masa ke semasa dan saya harap segala perbezaan politik dapat diketepikan sepanjang Persidangan Dewan Negeri Johor berlangsung. Menjadi keutamaan anda kini untuk mencari solusi untuk Bangsa Johor agar terus makmur dan sejahtera. Sila bekerja keras untuk membantu rakyat semua.
Akhir kata jaga tingkah laku dan berkhidmat dengan jayanya supaya Johor kekal maju serta disanjung dan dihormati. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negeri Johor terus maju membangun dengan aman dan makmur, dijauhi dari segala bencana agar seluruh rakyat dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bahagia.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya merasmikan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun Tunku adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dif-Dif sekalian, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan berangkat meninggalkan Dewan ini. Di jemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Dif-Dif sekalian beredar ke Dewan Bankuet. Maka saya tangguhkan persidangan ini sehingga hari Ahad, 12 Mei 2024 jam 9.30 pagi. Persidangan Dewan di tangguhkan pada jam 10.45 pagi.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Cik Norzita binti Abdul Aziz
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 9 Mei 2024
VERBATIM