Johor · 13 May 2024
3rd session, 1st meeting · 132 turns · 33,332 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah kita masuk hari kedua dan saya amat bersyukur dan berbangga kerana berdasarkan perbahasan semalam Ahli-Ahli Yang Berhormat telah berbahas dengan kritikal dan konstruktif dan mudah-mudahan ia berterusan pada hari ini dan hari-hari berikutnya. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Saya jemput Yang Berhormat Jementah.
Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya soalan pertama.
Forest City telah diumumkan sebagai Zon Khas Kewangan pada Ogos 2023. Apakah langkah atau perancangan khas bagi merealisasikan wawasan ini?
Saya jemput Yang Berhormat Stulang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.
Apakah status perkembangan SEZ dan SFZ Johor-Singapura?
Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3.
Nyatakan pandangan Kerajaan Negeri Johor dari segi peluang pekerjaan, perkembangan ekonomi dan pelancongan terhadap berita berkenaan bahawa kerajaan mempertimbangkan pembinaan dan meluluskan lesen kasino dalam usaha memulihkan Forest City.
Sila Yang Berhormat.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam saya telah memperjelaskan tentang status perkembangan dan perancangan SEZ ataupun Special Economic Zone. Pada pagi ini pula, saya akan mengambil sedikit masa untuk menjelaskan perkembangan Special Financial Zone seperti yang telah disoal oleh Yang Berhormat Jementah, Stulang dan juga Johor Jaya.
Yang Berhormat Speaker, Zon Kewangan Khas ataupun Special Financial Zone yang sedang dilaksanakan di Forest City merupakan inisiatif kerajaan persekutuan bersama dengan
kerajaan negeri untuk merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor. SFZ ini diwujudkan dengan tujuan meletakkan Johor dan Malaysia di peta dunia terutamanya dalam sektor kewangan dan perbankan antarabangsa.
Alhamdulillah, pembangunan Forest City telah mendapat keyakinan daripada kerajaan persekutuan hari ini dan sentiasa mendapat dokongan daripada kerajaan negeri. Ini berlandaskan kepercayaan bahawa pembangunan Forest City dapat memainkan peranan yang cukup penting dalam merancakkan ekonomi negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, namun demikian saya juga ingin menyentuh sedikit akan persoalan yang akan dibangkitkan oleh Yang Berhormat Johor Jaya berkaitan cadangan pembinaan pusat kasino di Forest City. Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa berita berhubung pembinaan dan kelulusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan dakwaan yang tidak benar sama sekali. Ia tak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk. Fitnah yang tidak masuk akal sama sekali melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya. Ia juga seolah-olah mengulangi usaha membina persepsi negatif untuk menggagalkan pembangunan di Forest City yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu pada tahun 2018 yang lalu dengan pelbagai hasutan dan fitnah.
Kepada mereka ini, suka saya nasihatkan cukup-cukuplah. Insya-Allah dengan sokongan padu kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang adalah masa yang terbaik untuk kita kembali membangunkan Forest City kerana ia akan dapat memberi manfaat langsung dan tidak langsung kepada Bangsa Johor.
Yang Berhormat Speaker. Alhamdulillah pada tanggal 25 Ogos 2023, Perdana Menteri Malaysia...
Persidangan ditangguhkan sementara kerana masalah teknikal audio.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum saya menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menyambung jawapan pertanyaan lisan, saya berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi. Ia cukup memalukan sehingga kita terpaksa menangguhkan sebentar sidang Dewan pada pagi ini.
Oleh itu, saya berharap bahagian pengurusan Dewan supaya lebih peka dan sentiasa memerhatikan mengenai dengan teknikal Dewan ini. Saya tidak mahu mendengar alasan sebab kita mesti menolak budaya alasan... ya. Kalau saya nak berhujah tentang sebab-musabab terlalu panjang. Jadi kita mesti ada mentaliti, first class facility dan first class mentality. Itu yang penting sebenarnya. Sebab tu tak ada alasan, kita tak nak sepertimana yang berlaku di CIQ, banyak alasan ya... tetapi tidak menyelesaikan masalah.
Jadi saya mohon maaf kepada Yang Amat Berhormat kerana terpaksa menangguhkan Dewan ini dan saya harap perkara ini tidak berulang lagi.
Dijemput Yang Amat Berhormat.
Bismillahirrahmanirrahim. Ini Yang Berhormat Speaker ada elemen sabotaj macam mana saya cakap tentang Forest City tadi.
Ya saya harap soal keselamatan pun diperhatikan sebab mana tahu satu hari nanti akan berlaku pencerobohan pula dalam Dewan yang Mulia ini, nauzubillah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, meneruskan jawapan saya. Alhamdulillah pada tanggal 25 Ogos 2023, Perdana Menteri... Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan SFZ akan dilaksanakan di Forest City, Johor. Selaras dengan pengumuman tersebut, Kerajaan Negeri Johor memantau perkembangan dan pelaksanaan SFZ.
Pada bulan Februari tahun ini, cadangan terperinci berhubung pelaksanaan SFZ telah pun dikemukakan oleh pengurusan Forest City kepada Kementerian Kewangan Malaysia. Bertitik tolak daripada itu, telah berlangsung beberapa siri mesyuarat yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan bagi memperhalusi cadangan-cadangan insentif dan inisiatif yang bakal ditawarkan oleh SFZ di Forest City.
Kementerian Kewangan juga semasa Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Forest City pada 18 April yang lalu turut memaklumkan kepada ahli-ahli mesyuarat bahawa cadangan insentif cukai bagi SFZ di Forest City akan dimuktamadkan Insya-Allah pada akhir bulan ini. Justeru kerajaan negeri mempunyai keyakinan dan harapan bahawa pengumuman pakej insentif bagi SFZ ini akan dapat diumumkan oleh Kementerian Kewangan tidak lama lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan SFZ di Forest City ini mampu menarik pelaburan dalam sektor kewangan, beberapa kajian penanda aras dilaksanakan ke atas beberapa zon kewangan yang terkemuka di dunia. Antaranya:
Pertama, Zon Kewangan Antarabangsa atau pun International Financial Centre seperti di New York, London dan Singapura yang menawarkan perkhidmatan perbankan dan kewangan yang melibatkan pelaburan, perbankan korporat, perkhidmatan kewangan global dan pasaran kewangan.
Kedua, Zon Kewangan Islam atau pun Islamic Financial Centre seperti di Dubai yang menawarkan perkhidmatan perbankan yang mematuhi prinsip-prinsip syariah termasuk pembiayaan Islam, simpanan Islam dan produk-produk lain kewangan Islam.
Ketiga, Zon Kewangan Teknologi atau Fintech Hubs seperti di Silicon Valley dan London yang menawarkan inovasi teknologi kewangan yang menyokong pembangunan dan penggunaan teknologi dalam sektor kewangan.
Keempat, Zon Kewangan Khas atau Special Financial Zone seperti di Shanghai yang menawarkan insentif dan kelebihan khusus untuk menarik pelaburan dan sektor kewangan termasuk perbankan insurans dan pasaran modal.
Setiap jenis Zon Kewangan Khas mempunyai fokus aktiviti yang berbeza-beza tetapi kesemuanya bertujuan untuk memajukan sektor kewangan di kawasan tersebut dan menarik pelaburan serta aktiviti perdagangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di SFZ cadangan yang dibawa oleh pihak pengurusan Forest City bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana Zon Kewangan Khas yang sedia ada, sama ada di dalam negara mahupun di rantau ini. Namun, kita berharap SFZ di Forest City kelak akan mampu menjadi pelengkap bahkan sebagai pemangkin atau katalis yang dapat menggandakan KDNK dan Malaysia, menambah pendapatan kerajaan di samping menyediakan ribuan peluang pekerjaan pada Bangsa Johor.
Sehubungan itu, terdapat dua sektor fokus utama bagi pelaksanaan SFZ di Forest City iaitu:
Pertama, perkhidmatan sektor perbankan dan kewangan. Perkhidmatan ini bukan sahaja menyediakan perbankan peribadi individu dan keluarga tetapi juga memenuhi keperluan
perniagaan dan komuniti-komuniti komersial seperti pelaburan, insurans, penggunaan fintech untuk perbankan tradisional dan Islam.
Kedua, SFZ ini juga akan menyokong perkhidmatan perniagaan melalui penyediaan perkhidmatan sokongan atau juga dipanggil sebagai mid office support services dan back office support services seperti sokongan pelanggan bangunan produk dan pengoptimuman, sokongan teknologi dan IT, pemasaran kewangan dan perakaunan dan sumber manusia dan tenaga kerja mahir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara faktor utama kejayaan untuk menarik pelaburan di dalam SFZ ini adalah tawaran insentif fiskal dan bukan fiskal yang boleh diberikan oleh kerajaan persekutuan. Bahkan, apabila kita meneliti beberapa SFZ terkemuka lain di dunia pelbagai insentif lain juga disediakan bagi menarik minat para pelabur dari seluruh dunia. Antara insentif fiskal yang dipohon termasuklah pengecualian dan penetapan kadar khas cukai korporat kepada syarikat bagi aktiviti ekonomi yang berkelayakan.
Kedua, penetapan kadar khas cukai pendapatan individu kepada tenaga kerja mahir.
Ketiga, Pengecualian Dan Pengurangan Duti Setem Bagi Instrumen Yang Berkaitan Pindah Milik Hartanah, Saham Dan Sebagainya. Di samping itu, terdapat juga beberapa insentif bukan fiskal yang turut dipohon melibatkan polisi berkaitan visa dan perkhidmatan imigresen bagi mempertingkatkan lagi ease of movement khususnya melibatkan pintu masuk Malaysia dan Singapura.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri memberi perhatian dan sokongan penuh kepada pelaksanaan SFZ di Forest City kerana ianya pasti akan dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat Johor khususnya di kawasan tersebut. Antaranya:
Pertama seperti yang saya sebut tadi peluang pekerjaan. Pembangunan Zon Khas Kewangan di Forest City dapat mencipta peluang pekerjaan baharu bagi penduduk setempat. Dengan adanya pelaburan dan pertumbuhan aktiviti kewangan akan ada permintaan untuk tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang seperti perbankan, insurans, pengurusan aset dan perkhidmatan profesional lain.
Kedua, pertumbuhan ekonomi zon khas ini diharapkan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut. Aktiviti kewangan yang pesat dapat membawa kepada peningkatan pelaburan, perdagangan dan aktiviti perniagaan yang akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Ketiga, peningkatan kemudahan infrastruktur. Pembangunan zon ini juga akan melibatkan peningkatan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, pengangkutan awam dan kemudahan sokongan lain. Ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan meningkatkan akses kredibiliti dan kualiti infrastruktur di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai rumusannya, Forest City Special Financial Zone ini adalah satu inisiatif yang berpotensi memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk setempat dalam negara secara keseluruhan. Namun, adalah penting untuk memastikan bahawa pembangunan dan pengurusan SFZ dilakukan secara bersepadu dan turut menitikberatkan kepentingan kesejahteraan penduduk setempat. Dengan kesedaran dan pelaksanaan yang baik SFZ ini akan menjadi contoh kejayaan dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup bagi penduduk setempat.
Suka untuk saya tegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian dan sokongan bagi memastikan pembangunan pesat di negara dan negeri ini akan terus dipacu
tanpa melibatkan elemen-elemen yang boleh meresahkan rakyat. Justeru, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat juga akan terus memberi sokongan dan membantu menangkis sebarang persepsi negatif mahupun tohmahan liar yang dibangkitkan oleh orang luar. Sekiranya, ada ketidakpastian tidak perlu tunggu di sidang Dewan ini. Bertanyalah kepada saya mahupun kepada Yang Berhormat EXCO yang berkaitan. Insya-Allah penjelasan tuntas akan diberikan. Terima kasih, Yang Berhormat Speaker.
Ya saya jemput Jementah dulu.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat. Soalan saya ialah, Forest City sejak dibangunkan sesetengah projek adalah dibina oleh pelabur asing seperti China. Setakat ini berapakah projek yang tergendala dan berapa peratuskah perumahan itu dikosongkan atau pun disebut sebagai rumah hantu?
Yang Berhormat Datuk Speaker. Memang benar apa yang disebut oleh Yang Berhormat Jementah. Sejak tahun 2018, apabila diburuk-burukan dengan fitnah-fitnah dan tohmahan liar maka penjualan aset-aset di situ sudah semestinya terkesan. Dan bukan terkesan sedikit-sedikit Yang Berhormat Datuk Speaker, memang teruk dari segi imej yang dilemparkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ratusan, the exact figure saya tidak ada sekarang, will get it for you Yang Berhormat. Tetapi apa yang saya nak sampaikan ialah apabila pengumuman tentang SFZ ini dibuat, maka kegiatan ekonominya sudah kembali rancak. Dan informasi terkini ialah IMFC, The Facilitation Centre yang saya sebut semalam akan juga dilaksanakan di Forest City. Jadi, semua jabatan daripada kerajaan persekutuan dan juga negeri akan berpengkalan di situ. Hasil daripada itu juga, sudah banyak rakan-rakan daripada sektor kewangan, perbankan, peguam-peguam profesional sudah register interest untuk membuka perniagaan mereka di sana. Jadi, apa yang saya nak sampaikan ini Yang Berhormat Jementah, yes, we had a problem but kerajaan ini komited untuk menyelesaikan isu itu dan mengharumkan kembali nama Forest City di persada dunia. (Dewan bertepuk). Terima kasih Yang Berhormat.
Ini semua kerana amalan politik toksik, dendam kesumat, Yang Amat Berhormat. Dulu kata Johor akan dijajah, sekarang kasino pulak.
Itu dulu Yang Berhormat. Sekarang ini kita akan ubah persepsi tersebut Yang Berhormat. Insya-Allah.
Johor Jaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan penjelasan mengenai SFZ, SEZ dengan begitu jelas. Forest City merupakan satu tempat yang unik dan strategik untuk menarik lebih ramai pelabur dan juga pelancong ke Forest City dan di mana Forest City mempunyai padang golf yang antarabangsa, bertaraf antarabangsa, hotel yang bertaraf antarabangsa, zon cukai bebas dan dekat dengan Second Link. So, adalah penting bagi kita bersama-sama membangunkan semula Forest City dan soalan tambahan saya adalah dengan rancangan SEZ, SFZ di Forest City. Adakah rancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Forest City sebagai satu Hub MICE. Di mana di negeri Johor sekarang ini tidak ada satu Convention Centre MICE iaitu meeting insentive, conference dan exhibition yang bertaraf antarabangsa. Sebab dengan setakat ini yang kita tahu di Forest City, grand ballroom yang paling besar itu pun hanya dapat menampung 600 pack sahaja. So, soalan tambahan saya adakah kerajaan negeri menuju ke hala tuju ini. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi mengadakan satu bangunan baharu MICE, itu belum ada lagi perancangan. Perancangannya disetuju dekat JB. Ada tanah sebelah golf dekat depan JMF. So, depan JMF punya apa nama kem, ada perancangan untuk dibuat di situ.
Untuk Forest City dia akan lebih kepada perbankan dan saya difahamkan sudah ada interest daripada taman-taman tema lain untuk membuka, so there will be a new hopefully lah. Kita kena usahalah. Sebab itu nama baik Forest City nak kena jaga YB. Dan, saya risau bila dibuat fitnah-fitnah, tohmahan-tohmahan untuk memburukkan nama Forest City, pelabur-pelabur yang pada asalnya nak masuk, dia tak jadi masuk. Disebabkan persepsi dan fitnah. Tetapi, memang sedang digerakkan untuk mengadakan lebih beberapa taman tema antarabangsa yang akan masuk dan juga akan membantu ekosistem, membantu Legoland, membantu ialah Austin Height punya taman tema, kita ada teman tema dekat Desaru. Jadi, we have more, than we become more attractive untuk mereka datang ke Johor, Insya-Allah. Terima kasih Johor Jaya.
Ya sila, Stulang.
Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar, agak-agaknya bilakah check point untuk Forest City di mana Pejabat Imigresen akan berada di situ agar pengunjung boleh terus dihubungkan kepada negara Singapura akan disiapkan?
Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi infrastrukturnya Imigresen sudah dibina, dah siap. Namun pengoperasiannya kita masih lagi menunggu di peringkat KDN untuk kita menjalankan. Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin berkongsi dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat bukan itu sahaja rancangannya. Ada cadangan Yang Berhormat kalau ada rezekilah daripada Second Link boleh tembus jalan atau pun highway yang baharu yang akan terus masuk ke Forest City. Ada cadangan juga Yang Berhormat supaya ada ferry shuttle service daripada Forest City itu untuk pergi ke Singapura. Ini semua dalam peringkat cadangan dan perancangan. Dan saya yakin kalau kita semua menggembleng tenaga, semua ini dapat dijayakan bersama insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Terima kasih Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya pergi kepada pertanyaan lisan seterusnya, Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran 6 orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Kawasan Puteri Wangsa, Yang Berhormat Cik Amira Aisya. Dan dua orang pemerhati daripada ADUN Kawasan Sungai Balang YB Selamat. Sungai Balang ni dia bawak dua orang, dua orang sahaja. Semalam dua orang, hari ini dua orang, esok pun dua orang lagi, ke memang dua orang? Dan tiga orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Kawasan Senggarang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, soalan pertanyaan lisan seterusnya ini adalah pertanyaan lisan yang pada saya cukup penting yang menjadi perhatian terutama oleh Yang Amat Berhormat sebenarnya. Ini yang saya sebut tadi takde gunanya kita ada first class facility tetapi dari segi pengurusan third class mentality. Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.
Apakah status dan usaha kerajaan untuk melaksanakan kaedah Sistem Kod QR di CIQ bagi rakyat Malaysia seperti Singapore bagi mempercepatkan lagi proses imigresen dan pergerakan keluar masuk CIQ.
Sila Yang Amat Berhormat. Perling takde. Dia, dia bercuti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Johor Jaya dan sebenarnya Yang Berhormat Perling atas soalan tentang langkah-langkah kerajaan negeri dalam memudahkan pergerakan keluar masuk sempadan Johor - Singapura dan status pelaksanaan QR Code di CIQ-CIQ. Yang Berhormat Datuk Speaker, pergerakan keluar masuk di antara sempadan Johor - Singapura ini sebenarnya bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Ini subject matter expert duduk berdepan dengan saya, Yang Berhormat Stulang, betul ya Yang Berhormat? Namun begitu terdapat penglibatan kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kerajaan negeri merupakan ahli tetap di dalam jawatankuasa tersebut. Malah suka juga saya kongsikan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri sentiasa cakna dan peka untuk membantu menyelesaikan isu-isu kesesakan harian yang berlaku di sana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi BSI, CIQ terdapat tiga langkah yang telah diambil bagi memudahkan pergerakan keluar masuk. Pertama, mewujudkan laluan kontra di dewan penumpang inbound dan outbound. Ini bermaksud sekarang ini terdapat 16 kaunter tambahan setiap kali laluan kontra diaktifkan semasa waktu puncak. Kedua, penggabungan kaunter JIM, PLUS dan Road Charge, JPJ yang menggunakan urusan pemeriksaan dokumen dan pembayaran daripada asalnya dua kaunter dia kena clear, sekarang ini satu kaunter sahaja. Purata jumlah masa yang dijimatkan adalah 20 saat setiap kenderaan. Ketiganya, penggunaan Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang membolehkan pelawat dari 11 negara menggunakan kemudahan laluan auto gate di dewan penumpang bas masuk keluar di mana sebelum ini mereka menggunakan kaunter laluan manual.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu terdapat tiga cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh BSI. Pertamanya, penambahan bilangan gerabak keretapi KTMB di JB Sentral daripada empat gerabak ke lima gerabak. Setiap gerabak mampu menampung 80 penumpang bagi setiap perjalanan. Ini bermakna akan terdapat pertambahan sebanyak 2,480 penumpang tambahan setiap hari jika diluluskan. Keduanya, cadangan penambahan sebanyak 44 lorong motosikal dan ketiganya, penggunaan QR Code untuk penumpang bas dan basikal dan maaf, motosikal.
Bagi KSAB terdapat tiga langkah yang telah diambil. Pertamanya mewujudkan laluan kontra juga tetapi kali ini di laluan kereta, yang tadi di BSI penumpang bas, ini laluan kontra untuk kereta kerana permasalahan di dua-dua CIQ ini berbeza Yang Berhormat Datuk Speaker. Keduanya, mewujudkan kaunter hibrid atau kaunter pemeriksaan kereta dijadikan kaunter pemeriksaan motosikal ketika waktu puncak. Jadi kaunter kereta masa waktu puncak kita boleh transform jadi kaunter motosikal lalu. Ketiganya, penggunaan MDAC sebagaimana yang telah dilaksanakan di BSI. Terdapat juga tiga cadangan yang sedang dipertimbangkan untuk KSAB. Pertamanya, projek pembangunan dewan penumpang bas, keduanya penambahan 33 lorong motosikal, ketiganya penggunaan QR Code. Saya akan huraikan sedikit panjang tentang QR Code ini ya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor sentiasa berusaha untuk menambah baik sistem aliran keluar masuk. Walau bagaimanapun status penggunaan sistem kod QR di CIQ bagi rakyat Malaysia dalam fasa pembangunan dan juga pilot. Insya-Allah sama-samalah kita doa agar ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dan perkara ini akan diumumkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sedar dan insaf bahawa ramai yang tidak senang dengan kehadiran saya di pintu-pintu masuk utama negara ini. Ramai yang tidak suka dengan lawatan-lawatan mengejut saya. Namun percayalah saya tidak akan berhenti selagi mana isu legasi yang menghantui rakyat ini tidak diselesaikan. (Dewan bertepuk). Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Imigresen Johor yang baharu, kita akan dapat bersama
menyelesaikan isu yang melibatkan 250,000 orang Bangsa Johor yang berhempas pulas mencari rezeki berulang-alik setiap hari, setiap pagi, setiap malam. Kita lakukannya supaya mereka dan ahli-ahli keluarga mereka mempunyai kualiti kehidupan yang lebih baik. Insya-Allah jika kita memudahkan urusan mereka, Allah juga akan memudahkan urusan kita. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Amat Berhormat sebenarnya saya pun bersimpati dengan Yang Amat Berhormat. Saya follow Facebook Yang Amat Berhormat, subuh lagi dah ke CIQ. Sebab itu saya dukacita apabila ada mentality little napoleon seolah-olah Yang Amat Berhormat tak boleh ya turun padang dan sebagainya sebab saya pun ada pengalaman baru-baru ini saya ke Singapura nak makan murtabak Singapore naik Grab, dua tiga kereta dengan keluarga saya, menantu cucu memang sedap makanan tapi bila balik kena dengan sesak tu, sedap tu hilang macam tak berbaloi pula. Jadi sebab tu saya kata soalan Johor Jaya ini adalah amat penting dan kita berharap masalah ini dapat diselesaikan. Ada soalan tambahan?
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Johor Jaya ucapkan tahniah atas usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar selama ini dalam memantau isu CIQ ini sebab hanya Bangsa Johor yang tahulah betapa penting isu ini kepada kita dan ini adalah sangat significant bagi Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk terus memantau isu ini.
Bagi soalan tambahan saya, dalam menjelang Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026 ini, dengan adanya persediaan QR Code, kaunter hibrid, kaunter motosikal, adakah rancangan atau bagaimana dengan laluan khas bas pelancong supaya negeri Johor ini sebagai pintu masuk yang penting dan utama di Malaysia dapat menampung dan menarik dan memudahkan pelancong dari Singapore masuk ke Malaysia? Sekian, terima kasih.
Ya sila.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi sektor pelancongan. Majoriti pelancong-pelancong yang masuk ke Johor daripada Singapura ialah melalui Second Link. That’s mean CIQ KSAB yang menjadi tumpuan. Dan kita rata-rata tahu semasa musim cuti sekolah, semasa musim celebrations, raya, Chinese New Year dan sebagainya memang kesesakannya adalah luar biasa. Sebab itu ada cadangan supaya berlakunya pembesaran dewan penumpang bas yang sekarang ini terlalu sempit dan kecil. Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, pelaksanaannya agak perlahan dan perkara ini dibincangkan setiap kali kita berjumpa dengan pihak pengurusan KDN, betul ya Yang Berhormat EXCO?
Jadi sempena nak menuju Tahun Melawat Johor ini... 2026, ini adalah satu shocking point yang perlu diselesaikan segera. Kalau Yang Berhormat baik dengan Menteri KDN boleh juga bantu kami untuk menggegar (ketawa) supaya pembesaran dewan itu dapat dilaksanakan segera. That is the main shocking point untuk pelancong-pelancong. Saya tengok dari segi bantuan imigresen contoh saya rasa QR code ini bakal menjadi game changer untuk mereka yang berulang-alik setiap hari tetapi kalau kaunter penumpang bas pelancong ini tidak mencukupi, saya risau ia akan tetap berterusan dan akan menjadi inherent untuk Yang Berhormat Datuk Speaker pergi ke Singapura makan murtabak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya sila.
Ya. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mungkin Datuk Speaker sekali-sekala boleh jugalah ikut Dato’ MB untuk lawatan mengejutlah (ketawa).
Sekadar komen saya rasa banyak isu ini berkaitan dengan peringkat pusat dan juga banyak juga isu ada kaitan dengan rundingan dua hala antara dua negara Malaysia dan Singapura. Jadi kadang-kadang isu ini... perkara-perkara ini kecik-kecik, yang kecik-kecik ia akan burst menjadi besar. Tapi apabila kecik-kecik ini mungkin dia sangat penting tetapi mungkin apabila hubungan dua hala Malaysia Singapura ada perkara yang mungkin tertinggal. Jadi saya berharap Kerajaan Negeri Johor boleh sentiasa, kerana kalau kita sentiasa berbincang di sini, contohnya semalam saya mengutarakan banyak isu yang memerlukan betul-betul rundingan di antara dua negara yang perlu ditablekan di atas perbincangan mereka. Kalau perkara-perkara tersebut tidak ditablekan dimejakan, maka saya rasa dia tidak akan ke mana.
Jadi justeru itu, saya berharap kerajaan negeri boleh juga secara berkala dalam bentuk bertulis ke macam mana ke sentiasa mengingatkan kerajaan persekutuan agar kita nak membincangkan isu dalam retreat ke ataupun mesyuarat dua hala di antara Malaysia Singapura.
Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau boleh saya berkongsi apa yang disarankan oleh Yang Berhormat Stulang, memang betul dan tepat. Cuma memang sudah ada perbincangan-perbincangan contohnya baru-baru ini Yang Berhormat EXCO bersama rakan-rakan daripada KDN Johor telah pergi ke Singapura untuk melihat sendiri cara pelaksanaan QR code yang dibuat oleh Singapura. So Singapore is already started dengan QR code. So kita nak pastikan bahawa efisiensi yang kita buat di peringkat negeri Johor, Malaysia ini setanding ataupun lebih baik.
Pada masa sama, saya dimaklumkan Yang Berhormat Stulang bahawa memang sudah ada hubungan yang amat baik dan akrab di antara authorities di Singapura bersama dengan authorities di Johor. Saya punya pandangan pada masa sama ialah ada masih lagi banyak teknikal issues Yang Berhormat pun tahu di peringkat negeri ini, di BSI dan KSAB yang belum selesai. Yang Berhormat pun tahu baru-baru ini kita ada isu vendor M-Bike, dia senyum dia tak nak cerita benda-benda tu, tapi itu realiti yang berlaku, ditukarnya vendor tapi vendor baru tak sempat masuk, there was no proper handover disebabkan itu ada breakdown, hampir 2 minggu Yang Berhormat. Orang-orang Bangsa Johor terpaksa mengharungi traffic jam yang luar biasa. Saya kat Shenzhen masa tu Yang Berhormat, tak senang duduk saya. Jadi ini antara saya rasa Yang Berhormat Stulang, perkara-perkara yang perlu kita uruskan di peringkat Malaysia dan Johor. Dan pada masa yang sama terus mengadakan hubungan baik dengan rakan-rakan kita di Singapura.
Terima kasih Yang Berhormat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat pagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan 6.
Jualan Kasih Johor mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Bangsa Johor. Adakah kerajaan negeri boleh mempertimbangkan supaya Jualan Kasih Johor dilaksanakan secara berkala dan tidak tertumpu pada musim perayaan sahaja.
Dijemput Yang Berhormat Kukup.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.
Berapakah jumlah subsidi yang ditetapkan bagi setiap DUN untuk melaksanakan Jualan Kasih Johor berikutan daripada rungutan masyarakat di DUN Kukup berhubung dengan jenis barangan dan kuantiti yang dijual terlalu sedikit menyebabkan kehampaan kepada masyarakat yang datang.
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 8.
Baragaimanakah sambutan program Jualan Kasih Johor dan apakah strategi kerajaan negeri untuk menambah baik program ini yang mana ia dilihat membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barang terutama barangan basah di pasaran?
Dijemput Yang Berhormat Bentayan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 9.
Berapakah jumlah lokasi Jualan Kasih Johor yang telah dilaksanakan di setiap daerah menjelang musim Perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri?
Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sudah terang lagi bersuluh, soalan nombor 10.
Setakat tahun ini berapakah jumlah subsidi yang telah diberikan oleh kerajaan negeri melalui Program Jualan Kasih Johor di bawah FAMA?
Silakan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab soalan daripada Pekan Nanas, Kukup, Pemanis, Bentayan dan Parit Yaani bersekali dan semuanya adalah berkisar kepada soalan berkenaan Jualan Kasih Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, Jualan Kasih Johor ini bermula tahun 2023 dengan Bazar Rakyat Agro Johor atau BRAJ. Peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Johor ketika itu adalah hampir RM1 juta dan FAMA bertindak sebagai agensi pelaksana.
BRAJ atau Bazar Rakyat Agro Johor ini bertujuan membantu rakyat Johor yang terkesan dengan harga barang yang tinggi serta kesukaran mendapat barangan keperluan ketika itu iaitu ayam dan telur ayam. Melihat kepada kejayaan program Bazar Rakyat Agro Johor ini ditambah dengan sambutan yang begitu menggalakkan di kalangan rakyat dan pengguna, maka Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan Belanjawan 2024 telah bermurah hati dan bertanggungjawab melulus dan mengumumkan peruntukan yang lebih besar untuk program ini iaitu RM5 juta dengan nama Jualan Kasih Johor.
Jualan Kasih Johor ini adalah menerusi kaedah pendekatan jualan secara tampungan atau potongan harga bagi komoditi barangan keperluan asas terutamanya menjelang musim
perayaan dan penganjuran di luar musim perayaan di lokasi-lokasi tumpuan seperti pasar-pasar tani, pasar awam serta lokasi-lokasi yang terpilih.
Objektif utama jualan kasih ini adalah:
1) Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya penduduk di Negeri Johor melalui penawaran harga berpatutan untuk barangan asas yang terpilih.
2) Menyediakan kemudahan dan pasaran pilihan kepada pengunjung terutama golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan asas dan keperluan harian.
3) Membantu mengurangkan lapisan perantara pasaran dari ladang ke pengguna dan memberi faedah kepada kedua-dua kumpulan yang berkepentingan dalam penawaran dan permintaan bahan makanan tempatan.
4) Membantu meningkatkan pendapatan pengusaha dan petani dalam bidang pemasaran agro makanan melalui jualan terus kepada pengguna.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jualan Kasih Johor ini mensasarkan 800,000 penerima manfaat dengan sasaran pelaksanaan di 300 lokasi seluruh negeri menerusi kaedah pengurangan harga yang signifikan bagi produk makanan terpilih seperti ayam, ikan, telur ayam, minyak masak.
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah peruntukan atau tampungan yang diberikan bagi setiap lokasi bagi pelaksanaan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya yang lalu adalah antara RM30,000.00 hingga RM40,000.00 dan melibatkan hampir 100 lokasi. Bagi musim Deepavali yang akan datang ini, kerajaan telah menetapkan 60 lokasi untuk kita adakan jualan kasih ini.
Kesimpulannya daripada RM5 juta peruntukan Jualan Kasih Johor ini, RM1.2 juta hingga RM1.5 juta dikhaskan untuk perayaan Tahun Baru Cina, RM2 juta untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan hampir RM1 juta untuk program Deepavali. Manakala hampir RM1 juta pula diperuntukkan untuk program Jualan Kasih Johor di luar musim perayaan. Untuk itu, FAMA akan melihat keperluan-keperluan semasa dan ia akan dibincangkan bersama pimpinan setempat termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat dari masa ke semasa.
Selain daripada itu, kami juga mengambil maklum tentang pandangan-pandangan beberapa pihak berhubung jenis barangan dan kuantiti barangan yang ditawarkan di setiap lokasi hingga menyebabkan kehampaan kepada masyarakat yang datang. Memang tidak dapat dinafikan peruntukan tidak mencukupi berbanding jumlah pengguna. Sebab itu kami minta Ahli-Ahli Yang Berhormat mencadangkan lokasi yang sesuai dengan tawaran 1,000 hingga 2,000 ekor ayam, 500 kilogram ikan, 1,000 papan telur ayam dan sebagainya bagi setiap lokasi. Kami juga sedang melihat beberapa cadangan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri melalui FAMA bagi mengatasi isu-isu tersebut. Antaranya dengan:
1) Mengawal selia jualan agar tidak berlakunya pertindihan agihan penjimatan.
2) Menghadkan pembelian bagi setiap individu agar penjimatan dapat dirasai oleh ramai kumpulan sasar.
3) Kaedah pemberian kupon kepada kumpulan-kumpulan sasar terutama seperti golongan B40, golongan miskin dan miskin tegar termasuk asnaf dan lain-lain kumpulan sasar yang sesuai dan perlu.
4) Berbincang dan mencadangkan kepada ADUN-ADUN kawasan bagi menambah peruntukan dan subsidi penjimatan.
Sekian, terima kasih.
Ya Pemanis.
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Dan tahniah kepada kerajaan negeri atas usaha untuk memastikan Jualan Kasih Johor ini terus mendapat sambutan dan dapat membantu rakyat di kawasan-kawasan terutamanya di kawasan luar bandar.
Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO. Kita faham antara kekangan program Jualan Kasih Johor ini ialah kebanyakan produk-produk utama seperti ayam, telur dan sebagainya selalunya habis cepat. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan pasaraya-pasaraya besar selain daripada FAMA yang menyediakan barang-barang dan perkhidmatan yang disediakan ini. Mungkin dengan kerjasama syarikat-syarikat ini nanti, barang-barang yang boleh diberikan melalui Jualan Kasih Johor ini mungkin dapat ditambah. Selain daripada produk-produk yang ada itu, mungkin ada produk-produk lain lagi boleh diberikan kepada pengguna diberikan kepada mereka. Saya minta pandangan daripada Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Pemanis atas soalan dan pandangan itu.
Untuk makluman seisi Dewan, Jualan Kasih Johor ini sebenarnya kita berpandukan atau berasaskan kepada jumlah tampungan atau potongan harga yang disediakan oleh FAMA bergantung kepada jumlah yang disebutkan dalam Belanjawan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar iaitu jumlah keseluruhan RM5 juta. Daripada RM5 juta itu Yang Berhormat Datuk Speaker, RM1.5 juta telah kita belanjakan untuk Tahun Baru Cina, RM2 juta untuk Hari Raya dan hampir RM1 juta untuk perayaan Deepavali. Dan hampir RM1 juta juga kita peruntukkan untuk jualan di luar musim perayaan.
Jadi untuk tampungan harga ini bagi satu-satu kawasan atau program jualan ini, FAMA menyediakan peruntukan sebanyak RM30,000.00 ke RM40,000.00. Daripada RM30,000.00 ke RM40,000.00 itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kita telah memberikan potongan sehingga RM6.00 setiap kilogram ayam. Bermaknanya kalau ayam itu berharga RM10.00 pada harga semasa, pada hari itu harga ayam hanya RM4.00 sahaja sekilogram. Begitu juga dengan harga ikan. Kita buat potongan sehingga RM5.00. Begitu juga telur ayam RM4.00 sepapan. Dan jumlah potongan ini adalah keseluruhannya RM30,000.00.
Jadi isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pemanis tadi ialah bukan FAMA tidak mencukupi jumlah permintaan ayam itu tetapi bergantung kepada jumlah tampungan harga yang ditetapkan. Tetapi kami mengalu-alukan jika ada pihak-pihak atau mana-mana pembekal yang sanggup untuk memberi tampungan harga juga, kita alu-alukan untuk bantu FAMA. Kalau FAMA contohnya menyediakan peruntukan sebanyak RM18,000.00 untuk 1,000 ekor ayam setiap lokasi, mungkin ada pihak lain untuk tampung juga. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya ambil kesempatan untuk ucap terima kasih kepada FAMA Negeri Johor dan terima kasih juga kepada usahawan-usahawan FAMA. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, ada sebahagian usahawan FAMA yang memberi potongan juga, kita beri potongan RM6.00 dia tambah lagi RM1.00.
Maknanya ada ketikanya ayam dijual seekor RM4.00. Saya juga ucap terima kasih kepada ramai Wakil Rakyat yang saya tak dapat sebut satu persatu antaranya mungkin Pulai Sebatang, Naning, Sri Medan, Parit Raja, Penggaram, Layang-Layang, Bukit Permai, Larkin dan banyak lagi, yang juga menambah potongan ini. Saya difahamkan contohnya, FAMA menyediakan seekor lembu, ada Wakil Rakyat tambah lagi seekor lembu untuk dipasarkan di kawasan yang berkenaan. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker saya ulang, ia bukan berkenaan dengan tidak mencukupi jumlah ayam yang nak kita hantar tetapi FAMA bergantung kepada jumlah tampungan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Terima kasih.
Yang Berhormat, apakah itu bermaksud Jualan Kasih ini adalah jualan subsidi?
Yang Berhormat Datuk Speaker, ia boleh dianggap jualan subsidi.
Jadi, Wakil-Wakil Rakyat tolong tampung. Jadi, Yang Berhormat kata tadi, ada Wakil-Wakil Rakyat yang tampung, tambah lagi ayam. Jadi maksudnya jualan subsidilah kan? Sebab Wakil Rakyat bagi subsidi.
Ya Datuk Speaker.
Kalau macam tu tukar jelah kepada Jualan Kasih Alamak. Ok ada soalan tambahan. Yes, jemput Sri Medan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memang tak berhajat untuk soalan tambahan pasal dah jemput Sri Medan tadi kan. Terutama sekali, saya nak ingin ucapkan terima kasih dan juga tahniah kepada kerajaan negeri yang menyahut pandangan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sesi perbahasan yang lepas untuk kita menangani soal kos sara hidup dan juga kos barangan yang semakin meningkat. Tujuannya kita dapat membantu rakyat di peringkat akar umbi. Apa yang menarik di sini, apa yang kita sarankan sebelum ini iaitu tentang masa-masa tertentu yang perlu kita laksanakan Program Jualan kasih Johor ini, ketika musim perayaan dan di luar musim perayaan semua dibuat. Cuma yang menjadi kekhuatiran kepada saya dan contohnya apa yang dibuat Program Jualan Kasih Johor ini Sri Medan. Kesan kepada peniaga-peniaga tempatan. Jadi, kebanyakan apa yang saya lihat dalam Program Kasih Johor ini walaupun dia baik, setidak-tidaknya dia memberi kesan sedikit kepada peniaga-peniaga sedia ada tempatan. Boleh atau tidak pihak kerajaan negeri Johor di bawah EXCO yang berkaitan beri peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk mereka turut sama menjual barang-barang mereka. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih pada Sri Medan atas pandangan dan soalan itu. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau boleh saya nyatakan di sini bahawa setiap lokasi yang dipilih oleh FAMA dan kerajaan negeri untuk mengadakan Jualan Kasih Johor ini biasanya akan dibincangkan oleh Pegawai FAMA Daerah bersama-sama dengan Wakil-Wakil Rakyat tempatan. Justeru itu, saya ingin mencadangkan supaya Wakil-Wakil Rakyat sekali lagi bincang dengan Pegawai FAMA Daerah supaya pilih kawasan sesuai. Pertama Yang Berhormat, tolong pilih kawasan yang benar-benar diduduki oleh orang tempatan. Saya tertarik dengan soalan oleh diperkatakan oleh Kukup semalam, apabila mengatakan bahawa ada di kalangan warganegara asing yang datang membeli. Kita tak kenal Yang Berhormat, jadi sebab itu saya sebut tadi kalau boleh Wakil-Wakil Rakyat pilih tempat yang benar-benar diduduki oleh warga tempatan dan pengundi.
Yang keduanya, bincang dengan Pegawai FAMA Daerah supaya beri ruang kepada peniaga tempatan. Saya setuju, beri ruang cumanya kalau melibatkan sehingga 1,000 ke 2,000 ekor ayam, saya bimbang ia tidak dapat disediakan oleh peniaga tempatan. Jadi, bincang mungkin peniaga tempatan boleh ambil sebahagian, mungkin sayur-sayuran, mungkin telur atau ayam mungkin 300 atau 400 ekor kita beri pada peniaga tempatan tetapi kena bincang dengan Pegawai FAMA Daerah dan sekali lagi nak ucap terima kasih kepada FAMA kerana saya mendapat maklum balas kepada Wakil-Wakil Rakyat bahawa Pegawai FAMA Daerah sangat memberi kerjasama apa yang dibincangkan bersama dengan Wakil Rakyat.
Dan Yang Berhormat Datuk Speaker dan saya nak minta supaya kita membezakan antara Jualan Kasih Johor ini, iaitu program tajaan negeri dengan Jualan Rahmah di bawah KPDNHEP kerana Jualan Rahmah ia dikendalikan oleh pihak Kementerian, sedangkan Jualan Kasih untuk Johor dan Jualan Kasih ini kita hanya tumpu kepada barang-barang basah biasanya, terutama ayam, telur ayam, minyak dan ikan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Jementah
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya, No. 11
Apakah inisiatif bagi memupuk lebih ramai atlet yang bertaraf antarabangsa dalam negeri Johor?
Terima Kasih Yang Berhormat Jementah. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam maju Johor. Pertamanya, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak mengambil kesempatan pada pagi ini sebelum saya terlepas belum terlambat saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ibu kepada ibu-ibu seluruh Malaysia khasnya dalam negeri Johor Darul Ta’zim. Sememangnya ibulah yang memberikan kesempatan saya dan rakan-rakan saya berada di sini dan juga saya mengambil kesempatan Selamat Menyambut Hari Jururawat Sedunia dan jururawatlah yang menyambut kelahiran kita. Terima kasih kepada semua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Jementah di atas soalan yang telah dibangkitkan berkaitan dengan soalan apakah inisiatif bagi memupuk lebih ramai atlet-atlet yang bertaraf antarabangsa dalam negeri Johor? Soalan yang dibangkitkan berkaitan dengan inisiatif apa yang dilakukan bagi memupuk lebih ramai atlet-atlet bertaraf antarabangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Jementah dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. Antara inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri Johor adalah dengan mengadakan penganjuran-penganjuran sukan bertaraf antarabangsa. Seperti kejohanan Insha-Allah, Johor International Boxing Championship (JIBC), Asian Rugby Football Union, Kejohanan Esport Mobile Legend Pro League, Johor Marathon International dan juga Johor Cycling Series yang akan dianjurkan pada tahun ini, Insha-Allah. Penganjuran kejohanan-kejohanan ini pastinya akan melibatkan penyertaan atlet-atlet dalam negara, dalam negeri dan juga luar negara. Inisiatif serampang dua mata ini bukan sahaja memberi fokus kepada sukan pelancongan ataupun sport tourism dengan izin dan juga menyemarakkan agenda Aktif Johor yang mana Yang Amat Berhormat telah memberikan inisiatif yang baharu iaitu Johor sebaga Aktif Johor. Malah, pada masa yang sama juga memberi pendedahan kepada atlet tempatan terhadap penganjuran sukan bertaraf antarabangsa serta mencari bakat baharu dalam kalangan peserta sebagai pelapis atlet untuk masa hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Johor turut memperkenalkan satu program yang dipanggil sebagai Sport Malaysia iaitu influencer, dengan izin. Melalui inisiatif ini bekas-bekas atlet negeri Johor yang mempunyai pencapaian bertaraf antarabangsa telah pun dilantik bagi memberi suntikan semangat dan sebagai role model kepada atlet-atlet di negeri Johor. Antara atlet yang telah dilantik bagi menjayakan inisiatif ini adalah saudara Shah Firdaus acara berbasikal, Farhan Haron, acara tinju dan juga saudari Farehah Razak iaitu bola jaring.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan yang mulia, selain itu kerajaan negeri Johor juga turut memberi galakan pada setiap persatuan sukan untuk menyertai kejohanan-kejohanan di luar negara. Malah, saya juga dalam beberapa pertemuan bersama persatuan-persatuan sukan yang ada di negeri Johor turut menekankan perkara-perkara sama iaitu untuk lebih kerap menyertai kejohanan-kejohanan luar negara. Hal ini kerana melalui penyertaan-penyertaan seperti ini kita dapat melihat status secara dekat dan memantau prestasi atlet-atlet negeri Johor di pentas sukan antarabangsa. Bukan itu sahaja Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana sedia maklum, kerajaan negeri Johor juga turut memberikan inisiatif kepada setiap atlet negeri Johor yang berjaya mengharumkan nama negeri Johor di pentas antarabangsa khususnya di temasya Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan Olimpik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga saya sebagai anak Johor dengan bangganya ingin berkongsi kepada Yang Berhormat Jementah dan semua Ahlli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini untuk kita sama-sama berikan sokongan kepada anak jati Muar, Saudara Shah Firdaus, atlet berbasikal trek dan anak jati Segamat, Saudara Mohamad Aniq bin Kasdan, atlet angkat berat yang bakal beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai nanti. Sama-sama kita doakan mereka membawa pulang pingat dan mengharumkan nama Malaysia sekaligus Johor di persada dunia. Ini juga sekaligus membuktikan bagaimana negeri Johor sememangnya memiliki atlet-atlet yang berbakat dan mempunyai prestasi yang luar biasa ke peringkat antarabangsa jika pendedahan demi pendedahan serta program-program pembangunan yang berkesan dilakukan terhadap mereka. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Untuk makluman Yang Berhormat EXCO, tahun ini Segamat munculnya tiga pemain badminton bertaraf antarabangsa. Walaupun tiga pemain ini bukan daripada kawasan saya, kalau tidak salah dari Dun Kemelah, dukacitanya saya nak maklumkan setakat hari ini Segamat tidak mempunyai stadium sukan yang sempurna. Saya rasa ini saranan bukan daripada saya sahaja tetapi dari Pemanis, Kemelah dan Buloh Kasap juga. Jadi, saya mohon supaya Yang Berhormat EXCO untuk membantu mendapatkan peruntukan untuk dapatkan satu stadium sukan di daerah Segamat. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jementah di atas soalan yang dilontarkan. Terima kasih juga kerana di program-program yang saya turun baru-baru di Jelajah Aspirasi Negeri Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jelajah Aspirasi Negeri Johor, Orang Muda Johor, saya bersama juga Wakil-Wakil Rakyat akan mendengar permasalahan dan sebelum ini di Segamat. Saya dan YB Buloh Kasap juga melihat dan mendengar permasalahan di kawasan Segamat berkaitan kelengkapan fasiliti-fasiliti yang kurang. So, Insha-Allah apa yang dibangkitkan oleh YB Jementah itu bolehlah sama-sama memandangkan Menteri Belia dan Sukan pun sahabat kita juga dan boleh bawa sama peruntukan di Segamat untuk kita bangunkan fasiliti yang baik untuk sukan badminton mahupun sukan-sukan lain. Terima kasih Yang Berhormat.
Saya jemput Yang Berhormat Permas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya No. 12.
Mengapakah setiap permohonan melalui e-rumah hanya diberikan tempoh sebulan sahaja?
(Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan ini mengapakah setiap permohonan e-rumah hanya diberikan tempoh sebulan sahaja? Untuk makluman Yang Berhormat, permohonan Rumah Mampu Milik Johor atau dipanggil RMJ atau Perumahan Rakyat PPR adalah melalui Sistem Perumahan Negeri Johor atau SPNJ di lawan sesawang. Tatacara permohonan adalah sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan di dalam polisi perumahan Mampu Milik. Garis panduan menetapkan kaedah pengiklanan tawaran Rumah Mampu Milik RMJ atau PPR adalah kepada tiga kategori berdasarkan kemajuan pelaksanaan projek di satu-satu tapak. Yang pertama, jika projek seratus peratus siap di tapak dan telah memperolehi CCC, tempoh iklan satu bulan. Projek telah tersedia, pemaju memerlukan pembeli dengan segera untuk memastikan working cost tidak meningkat, pembeli tiada masalah mendapatkan pembiayaan mereka. Kategori kedua adalah projek di tapak 50% dan ke atas. Yang ini tempoh iklan adalah dua bulan. Dan kategori ketiga projek di tapak kurang daripada 50% siap. Ini memerlukan tempoh pengiklanan di dalam sistem e-rumah selama tiga bulan.
Saya ingin menambah, e-rumah adalah satu pengenalan eksklusif atau entry point dengan izin bagi mana-mana permohonan rumah di negeri Johor. Hal ini bagi memastikan segala maklumat yang disediakan dikemukakan itu boleh disemak silang atau cross refer dengan izin, sekiranya pemohon mempunyai mana-mana pemilikan hartanah ia selari dengan dasar Kerajaan Negeri Johor perumahan mampu milik hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak. Oleh itu, penggunaan e-rumah adalah satu kemestian. Bagi mana-mana pemohon yang tidak begitu mahir menggunakan e-rumah, mereka perlu hadir ke PKPJ atau ke saluran-saluran setempat yang disediakan sebagaimana bagi tujuan pendaftaran e-rumah. Di PKPJ dan Pejabat EXCO Perumahan sendiri kami menyediakan bantuan untuk mana-mana individu yang tidak mahir menggunakan e-rumah dengan kata lain e-rumah adalah satu kemestian untuk Bangsa Johor memohon rumah mampu milik.
Untuk makluman Dewan, setakat ini Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor telah melaksanakan pelbagai aktiviti turun padang. Daerah yang terlibat atau dipanggil J-Home OSC atau One Stop Center adalah telah selesai di 8 daerah iaitu di Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, Batu Pahat, Segamat dan Muar dan insya-Allah tahun ini akan ada lagi dua iaitu di Mersing dan di Tangkak. Gerak kerja ini adalah secara berterusan.
Untuk makluman semua, jumlah pelawat dalam sistem e-rumah Johor atau portal hartanah Johor daripada tahun 2018 sehingga April 2024 atau lebih 6 tahun ini adalah sebanyak 15.7 juta. Pecahan pelawat mengikut tahun adalah seperti berikut: pada tahun 2018,1.2 juta pelawat. 2019 (2.55 juta), 2020 (1.3 juta) turun sedikit (COVID), 2021 (2.6 juta), 2022 meningkat kepada 3.5 juta dan tahun lepas meningkat lagi kepada 3.7 juta, dan tahun ini sehingga April (805,000 pelawat). Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya. Adakah jika permohonan gagal dalam proses pengundian, adakah dokumen yang lepas boleh digunakan tanpa disertakan kembali dokumen yang baharu permohonan seterusnya dan yang kedua apakah tindakan kerajaan kepada penyewa yang menyewakan semula atau sublet, dengan izin. Sekian terima kasih.
Pertama, pada tahun 2022 sistem e-rumah Johor yang lama, segala permohonan e-rumah Johor untuk RMJ atau PPR memerlukan 17 dokumen. Selepas rejuvenasi perumahan daripada 17 dokumen yang disyaratkan untuk permohonan sahaja sekarang tinggal lima sahaja. Lima iaitu akuan sumpah, kad pengenalan pasangan, surat beranak pemohon, pasangan dan anak-anak, sijil nikah atau sijil cerai, yang kelima penyata pendapatan bekerja sendiri atau akuan sumpah. Jadi lima dokumen Datuk Speaker, dulu 17, sekarang lima. Walaupun jadi lima, maknanya di peringkat permohonan sekarang sudah dikurangkan.
Menjawab soalan YB Permas, soalan yang kedua berkaitan adakah permohonan itu perlu diupload semula? Untuk mereka yang telah register dalam sistem e-rumah, perkara-perkara yang asas contoh IC suami isteri, sjil beranak suami isteri dan anak-anak dengan payslip gaji yang tak masuk dalam sistem dia akan remain dalam sistem. Cuma dalam sistem dulu tidak ada boleh buat correction, pembetulan kali ini sistem e-rumah Johor mereka yang ada dalam akaun e-rumah ini boleh dibuat correction, maknanya contoh pada tahun ini gajinya RM2,500.00, jadi mungkin ada kenaikan RM200.00 jadi dia boleh correction dalam sistem tersebut.
Dan yang ketiga menjawab soalan tentang sublet, sublet atau bahasa mudah faham ialah kita dah tawarkan rumah PPR sebagai contoh kepada penyewa pertama, tetapi penyewa itu menyewakan kepada orang lain. Ini banyak kes dan banyak rungutan di peringkat rakyat khasnya Bangsa Johor.
Untuk makluman, perkara pertama yang dilaksanakan oleh PKPJ selepas penubuhan adalah dengan mengadakan program mengemaskinikan dokumen perjanjian dan profiling data penduduk. Program dan inisiatif ini telah bermula pada tahun 2022 dan sehingga kini hampir 97% profiling penyerahan dokumen bagi tujuan kemaskini perjanjian telah dilaksanakan. Tujuan utama kemas kini profiling dokumen perjanjian adalah untuk mengenal pasti peserta PPR yang aktif menduduk PPR. Sebagai makluman, tempoh mendiami PPR ini adalah dua tahun dan setiap tempoh tersebut akan dibuat kemaskini perjanjian dan profiling peserta. Ianya juga adalah serampang dua mata bagi penyelesaian isu tunggakan melalui kaedah runding cara dan akujanji penstrukturan jadual bayaran secara ansuran dan penguatkuasaan isu sewa atau sublet. Isu sublet atau sewa atas sewa ini adalah antara tiga isu perlanggaran syarat utama di perumahan rakyat yang diberikan penekanan serius oleh PKPJ selain isu tunggakan bayaran dan penyambungan utiliti secara haram.
PKPJ telah meletakkan fokus utama dalam menyelesaikan permasalahan ini dengan melaksanakan profiling peserta di semua 15 projek PPR serta 7 projek rumah sewa kerajaan (RSK) yang keseluruhannya berjumlah 19,632 unit. Profiling yang mengambil masa 8 bulan ini dijalankan dari satu projek ke satu projek dengan konsep bersemuka, bertemu peserta sambil mendapatkan maklumat serta menyerahkan penyerahan bantuan bakul makanan secara pasca COVID yang lalu. Melalui konsep tersebut, hampir 97% peserta hadir dan memberi kerjasama.
Antara sebab berlakunya kes sublet atau sewa atas sewa adalah pertama penama asal telah meninggal dunia, perceraian, kes dadah, penama telah bermastautin di tempat lain dan permintaan tinggi menduduk rumah PPR dan RSK ini disebabkan lokasi di bandar dan harga sewanya sangat murah jika dibandingkan dengan harga sewa rumah persendirian di sekitar bandar. Rumah sewa PPR ini RM250.00 sebulan di bandar, kalau rumah RSK ada RM80.00 ada RM120.00. Kesalahan sublet bukan sahaja melibatkan mereka yang menyerahkan hak menduduki premis kediaman kepada orang lain bukan ahli keluarga tanpa kebenaran pihak kerajaan, tetapi juga melibatkan ahli keluarga seperti kes penama tidak menduduki tetapi menantu atau anak yang duduk, penama tidak menduduki tetapi adik-beradik yang duduk dan sebagainya.
Status serta pecahan sublet atau sewa atas sewa yang diterima pada tahun 2022 dan 2023 adalah seperti berikut pecahannya, saya gabungkan tahun 2022 dengan tahun 2023, dua tahun profiling, pertama, kematian (219 kes), ahli keluarga (406 kes), orang luar, dia sewa dia jadi penyewa dia terima tetapi sewa pada orang luar, orang lain lepas tu dia kenakan caj dua kali ganda, orang luar (613 kes). Selama tahun 2022 profiling dengan 2023 ini, keseluruhan kematian campur ahli keluarga, campur orang luar (1,238 kes). Pihak PKPJ akan melakukan siasatan di tapak dan jika terbukti nama asal telah menyerahkan hak milik menduduki premis kediaman tersebut kepada orang lain, notis pembatalan perjanjian dan notis pengosongan premis bertempoh 14 hari dari tempoh notis akan dikeluarkan. Tindakan pemotongan bekalan utiliti akan dilakukan setelah tempoh 14 hari notis pembatalan perjanjian tersebut tamat.
Walau bagaimanapun, bagi sublet sewa atas sewa yang menepati syarat penawaran dan terdiri daripada penerima bantuan kewangan bulanan daripada agensi kerajaan seperti Majlis Agama, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Penyayang PBT, PERKESO atau berdaftar sebagai miskin, miskin tegar di dalam sistem eKasih atau pemohon, pasangan ahli keluarga terdekat menghidap penyakit kronik, proses penawaran secara first line akan dilakukan dalam tempoh empat hari juga dari tarikh permohonan. Jika terdapat tunggakan pada akaun unit kediaman dalam tempoh sewa atas sewa berlaku, kutipan bayaran caj menduduki akan dikenakan kepada sublet tersebut dan penama asal serta pasangan akan disenaraihitam dari memohon rumah PPR dan RSK pada masa akan datang. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ditangguhkan sehingga jam 11.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.15 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung sekarang. Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismillahirahmanirahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama saya ingin menzahirkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya saya hari ini diberi kesempatan berada dalam Dewan yang mulia mewakili rakyat Kota Iskandar untuk bersama mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, patik ingin merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah atas perlantikan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor. Semoga Bangsa Johor akan terus makmur dan sejahtera di bawah naungan Tunku, patik sentiasa mendoakan Tuanku dan kerabat diRaja sentiasa dilindungi Allah SWT. Patik juga merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam pembukaan sidang Dewan Johor kali ini. Rakyat Kota Iskandar sentiasa menyokong penuh segala usaha Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor dalam menyantuni keperluan naluri rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar juga ingin mengucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, yang sudah 2 tahun yang telah memimpin negeri Johor. Pelbagai usaha dilakukan untuk melonjakkan memulih ekonomi Johor pasca COVID-19, teruskan pelbagai usaha dan dasar pro rakyat. Usaha tersebut memang menjadi
perjuangan Kerajaan Barisan Nasional Negeri Johor sejak dahulu, kini dan Insya-Allah selama-lamanya.
Kota Iskandar ingin membicarakan beberapa perkara. Pertama, dalam isu pendidikan. Bidang pendidikan amat dekat di hati Kota Iskandar. Kerana dengan ilmu kepakaran dan kemahiran yang ada, mampu meningkatkan tahap hidup, imej, ekonomi seseorang serta sebuah keluarga, negeri mahupun negara. Dengan adanya lebih ramai rakyat mempunyai ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemahiran tinggi, aspirasi dan sasaran negeri, dan negara untuk menjadikan sebuah negeri maju lebih mudah dicapai. Ini kerana tidak terlalu bergantung dengan sumber tenaga luar bersama membangunkan negara yang kita cintai. Malah, kita bangunkan negeri dan negara ini dengan acuan sendiri. Justeru, bidang pendidikan perlu diberi keutamaan. Seiring dengan perkembangan pesat di negeri Johor ini, Kota Iskandar meminta supaya jumlah sekolah di kawasan DUN Kota Iskandar bukan sahaja dinaik taraf malah ditambah. Dalam Kota Iskandar, mempunyai 36 buah sekolah rendah dan lebih 9 sekolah menengah, sudah tentu tidak mampu lagi menampung pertambahan pelajar. Lebih menyedihkan, ada juga sekolah agama yang terpaksa menjadi koridor sebagai kelas tambahan. Keadaan ini sudah pasti tidak kondusif bagi sesi pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku, apa tah lagi sistem Sekolah Agama Johor diakui sebagai yang terbaik di negara kita. Malah banyak negeri lain menjadi model dan panduan. Adalah amat memalukan jika keadaan ini terus berlaku. Saya bagi contoh dalam kawasan Kota Iskandar, Sekolah Agama Taman Pulai Indah mempunyai lebih 1,500 orang pelajar. Bayangkanlah Datuk Speaker. Justeru, Kota Iskandar berharap Jabatan Agama Islam mengambil cakna perkara ini dan membina sekolah agama yang baru di kawasan-kawasan dikenal pasti mengalami isu berkenaan. Ini adalah kerana ilmu adalah penyuluh kehidupan.
Kota Iskandar menjunjung kasih dan menyambut baik titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor, supaya kerajaan mengkaji semula silibus yang kurang relevan pada masa ini. Titah Tunku Pemangku Sultan Johor ini amat bertepatan dan perlu kita laksanakan. Kota Iskandar yang amat bersetuju supaya Johor diberi kebenaran melaksanakan di negeri ini. Memang wajar sistem pendidikan termasuk silibus yang diguna harus seiring dengan perkembangan semasa. Contoh, pendedahan dan pengetahuan tentang Kepintaran Buatan dengan izin, Datuk Speaker, Aritificial Intellingent (AI). Ilmu berkaitan AI ini amat bermanfaat dalam pelbagai aspek kehidupan khususnya bagi kita mengharungi cabaran masa depan. Rakyat Malaysia khususnya, Bangsa Johor tidak harus ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan dan kepakaran berkaitan AI. AI adalah salah satu aset di masa hadapan.
Kota Iskandar juga mencadangkan supaya kerajaan negeri membugarkan semula Modul Karakter Murid Johor (KRMJ) yang pernah diperkenalkan beberapa tahun lalu. Sebenarnya KRMJ ini amat baik dalam membentuk identiti, imej sahsiah murid dan pelajar negeri Johor. Malah, berdasarkan pemerhatian Kota Iskandar, hanya Johor sahaja yang mempunyai dan memperkenalkan aspek Karakter Murid Johor (KRMJ). Ini usaha yang amat dibanggakan dan seharusnya dibugarkan dan perkasakan. KRMJ yang mula diperkenalkan pada 2017 sebenarnya mempunyai beberapa modul. Antaranya aspek patriotik, keterampilan diri, adab dan kerohanian, gaya hidup sihat, ketrampilan berbahasa, kepimpinan, teknologi, identiti nasional, seni budaya dan sukarelawan. Nyata KRMJ telah memberi identiti khas kepada murid dan pelajar Johor. Apabila mereka-mereka bergaul dengan pelajar negeri lain, karakter dan penampilan mereka memudahkan mereka dikenali menjadi Bangsa Johor yang disegani. Saya memberi contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, YB ADUN Sri Medan, 2 tahun saya berada di Dewan yang mulia ini, apabila dia lalu di hadapan, dia akan tunduk sedikit kepala, menghulurkan tangan tanda hormat. Inilah yang patut kita contoh dan jadi Bangsa Johor yang disegani. (Dewan bertepuk). Malah murid-murid dan pelajar Johor sering dipilih sebagai ketua atau pemimpin kumpulan, kerana turut mempunyai pengetahuan serta keupayaan. Sebagai contoh dulu, dalam zaman saya muda-muda dulu, Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita pergi kursus BTN, Wira Waja, Bina Semangat dan sebagainya, instructor akan tanya siapa di kalangan peserta kursus anak Johor? Apa yang instructor tu cakap biasanya anak Johor
didikan awal mempunyai pelajaran Sekolah Agama Johor dan mereka itulah yang akan dilantik kadang-kadang menjadi imam berjemaah atau pembaca doa yang dilakukan oleh Datuk Speaker semenjak Datuk Speaker menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri. Tahniah Datuk Speaker.
Selain ilmu berkaitan tentang teknologi tinggi, aspek infrastruktur dan kemudahan pendidikan juga harus diberi keutamaan. Bangunan yang sudah lama, usang harus dinaik taraf dan dibina semula. Kota Iskandar berharap, aspek pendidikan diberi keutamaan, kita mahu semua anak Bangsa Johor mempunyai pendidikan terbaik. Kita tidak mahu anak Bangsa Johor tercicir. Usaha perlu dilakukan menjadi Johor sifar murid keciciran dalam pendidikan.
Datuk Speaker, saya ingin menyentuh tentang ekonomi, Kota Iskandar amat mengalukan dan menyambut baik usaha kerajaan persekutuan dan kerjasama negeri mewujudkan Zon Ekonomi Bebas, Johor-Singapore, singkatan JS-SEZ. Usaha tersebut turut memperkasa kewujudan Zon Kewangan Khas SFZ di Forest City. Ini pun berada di dalam kawasan Kota Iskandar. Memang diakui, kedua-dua usaha tersebut mampu melonjak pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara khususnya di Johor. Seiring gagasan menjadi negeri maju pada tahun 2030, kewujudan JS-SEZ dan SFZ pasti memberi impak yang amat besar seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Besar dalam soalan lisan menjawab soalan lisan pagi tadi. Namun Kota Iskandar meminta kerajaan persekutuan dan negeri menggariskan kriteria dan syarat serta kelebihan bagi semua syarikat yang ingin melabur dan menjalankan perniagaan mereka dengan jelas, dan ini harus dijelaskan supaya syarikat yang berminat lebih faham tentang perkara berkenaan. Ini kerana setakat ini perincian tentang perkara berkenaan masih belum diberikan dan ramai pihak dalam kesamaran termasuklah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri. Jika tidak jelas, bagaimana kita nak menarik lebih banyak syarikat melabur di kawasan tersebut, ibarat perumpamaan, “tak kenal maka tak cinta”.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi, kewujudan JS-SEZ dan SFZ, turut memberi limpahan terutama dalam mewujudkan banyak peluang pekerjaan baru. Sudah pastinya peluang pekerjaan berkenaan akan jadi sumber rezeki kepada penduduk mahu pun di peringkat tempatan. Justeru, kerajaan diharapkan memastikan sekurang-kurangnya 60% hingga 70% daripada peluang pekerjaan patut diisi oleh rakyat tempatan termasuk pekerjaan yang berkemahiran tinggi. Dalam masa yang panjang usaha tersebut mampu memberi manfaat termasuk menerusi perpindahan teknologi dan kepakaran. Peluang pekerjaan yang banyak sudah pasti menjadi tarikan sumber tenaga berhijrah mencari rezeki di negeri Johor. Dalam masa yang sama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bertindak pro aktif dalam menarik tenaga yang berkelana ke luar negara sebagai contoh, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar menyatakan hampir 250 orang pekerja bekerja di Singapura dan pekerja kemahiran tinggi untuk kembali berbakti di negara ini khususnya di negeri Johor. Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, Johor amat memerlukan kepakaran dan kemahiran untuk mereka bersama-sama mencorak dan memandu ke arah mana pembangunan dan kemajuan yang diinginkan. Johor dan Bangsa Johor amat memerlukan kepakaran mereka. Kota Iskandar sedar, usaha mencari mereka kembali berbakti di negara ini bukan tugas yang mudah. Justeru, kerajaan negeri perlu mampu menawar gaji dan insentif yang lebih menarik kepada mereka untuk berbakti kepada negara, negeri dan Bangsa Johor. Semua tenaga kerja tersebut adalah aset negara khususnya negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seiring dengan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan, Johor pastinya menjadi tumpuan rakyat termasuk dari negeri lain untuk berhijrah bagi membina kehidupan yang baik. Kawasan DUN Kota Iskandar tidak terkecuali malah menjadi salah satu destinasi tumpuan. Pada masa kini, Kota Iskandar mempunyai lebih daripada 320,000 penduduk. Jumlah tersebut dijangka melonjak hingga 900,000 penduduk pada tahun 2035. Kehadiran ramai penghijrah pastinya membawa impak yang besar khususnya aspek ekonomi dan sosial. Situasi tersebut sudah pastinya memerlukan perancangan yang baik dan
isu-isu yang timbul mesti ditangani dengan baik. Antara aspek yang diperlu diberi perhatian, penyediaan kediaman yang baik dan mencukupi. Berdasarkan pasaran semasa harga kediaman yang tinggi iaitu RM300,000.00 dan ke atas menyebabkan ramai yang tidak mampu membeli kediaman. Justeru, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu membina lebih banyak rumah mampu milik rakyat khususnya golongan B40 dan M40 sudah tentu memerlukan kediaman yang mampu mereka milik. Jangan tunggu sampai isu tersebut cetus baru hendak bertindak. Adalah lebih baik sediakan payung sebelum hujan, jangan sudah menjadi parah, baru nak bertindak.
Dalam isu keselamatan dan kedaulatan, kewujudan JS-SEZ harus dibincang dengan terperinci memberi manfaat dan situasi menang-menang kepada dua pihak. Kriteria dan syarat harus memberi faedah kepada dua-dua pihak, khususnya Johor kerana lokasinya melibatkan negeri ini. Jangan sampai pepatah “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Baru-baru ini Kota Iskandar dikejutkan dengan tangkapan 6 orang suspek, yang berkaitan dengan tangkapan seorang Israel yang ditangkap di Kuala Lumpur. Dan 6 tu berada di Kota Iskandar termasuklah 2 di Forest City. Kota Iskandar mengucapkan terima kasih kepada PDRM Bukit Aman dan IPD Iskandar Puteri yang mana mantan OCPD pun ada di dalam Dewan yang mulia ini kerana bertindak cepat dalam kes ini. Tadi Yang Amat Berhormat menyatakan kita kena perlu bersihkan nama Forest City, kita patahkan tohmahan-tohmahan yang mengatakan yang Forest City ini menjual kedaulatan rakyat. Dengan isu ini kita mengharapkan kebangkitan pembangunan JS-SEZ dan SFZ berlaku di Forest City dapat dipertingkatkan keselamatan dan ancaman dalam dan luar negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar banyak pusat, pusat pelancongan, pusat golf, pusat makanan dan pelbagai-pelbagai pusat. Datuk Speaker, nak tahu apa pusat lagi? Datuk Speaker, bila Datuk Speaker tak respon ni susah hati saya ini, selalu Datuk Speaker cross cakap saya. Baru-baru ini kita digemparkan, tak silap saya pada sempena nak sambutan Tahun Baru Cina, Chinese New Year, akhbar melaporkan penyeludupan arak daripada Forest City ke tanah besar. Atas respon dan aduan rakyat, saya datang ke Forest City Datuk Speaker, dan kebetulan Pemangku Pengarah Kastam dan pegawainya hadir bersama. Saya tak ada apa kenyataan hanya lihat perkembangan yang dinyatakan oleh rakyat tentang kebimbangan penyeludupan arak ke tanah besar. Saya masuk di kedai penjualan, kedai bebas cukai, kedai arak dan coklat. Semasa saya masuk di dalam kedai tersebut, Datuk Speaker, ada saya lihat seorang amoi sedang memilih coklat yang nak dibelikan, saya pun menyapa Datuk Speaker, “Moi, you mahu cari apa?” Amoi itu berpakaian yang separuh singkat, kalau anak muda sekarang steng, ya. YB tak faham steng, faham? Faham juga. Apabila saya tanya you mahu beli apa? Amoi ini terperanjat, dia angkat tangan macam ni, Datuk Speaker. Bila dia angkat tangan macam ni, dia tutup mulut pakaian terangkat. Itulah pertama kali saya nampak pusat dari negara China. Sebab saya tanya, Moi are you from China? Oh dia terus lari, dia terus lari. Saya pun keluar jumpa Pegawai Kastam, saya tanya Pegawai Kastam kenapa Amoi tu lari bila saya tanya are you from China? Mungkin dia takut, adakah wajah saya macam hantu? Sebab orang cakap Forest City ghost city. Saya amat setuju kalau kata Parlimen DUN Perling semalam ada nama baharu Forest City itu supaya menghilangkan persepsi Forest City ini merupakan Ghost City.
Jadi Tuan Pengerusi, eh Tuan Datuk Yang DiPertua, dalam usaha kita menarik banyak pelaburan ke negara kita ini jangan sampai hanya syarikat luar diberi kelebihan, keutamaan insentif syarikat tempatan harus menerima faedah yang patutnya sama malah jika perlu yang lebih baik lagi. Jadi, atas saranan...
Yang Berhormat, Yang Berhormat belum habis cerita kenapa dia lari?
Mungkin dia tak tahu bahasa kita. Saya tanya, saya boleh tahan juga cakap English sebab itu saya tanya, are you from China? Dia tidak dapat jawab sebab yang hadir, yang duduk di Forest City betullah tadi rakan-rakan
menyatakan from China kebanyakan. Pembeli rumah, mungkin dia takut agaknya ada Pegawai Kastam dengan uniformnya, dia lari. Jadi, saya bukanlah hantu Datuk Speaker, saya hendak persepsi ghost city itu. Datuk Speaker, pasal Datuk Speaker kena sambung sikit lah ya masa sebab ini tuan rumah yang bercakap. Jadi masalah teknikal itu tidak ada kaitan dengan DUN Kota Iskandar.
Tinggal 2 minit lagi Yang Berhormat.
Kota Iskandar tidak mahu kegagalan kerajaan menjejaskan pelbagai isu boleh mengakibatkan rakyat membenci kerajaan yang ada khususnya kerajaan BN di Johor. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Rakyat benci dan runtuh kerajaan kerana kita telah ada asas yang baik pengalaman ditolak rakyat pada PRU yang lepas patutnya jadi iktibar dan pengajaran.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh dalam kegiatan rakyat. Aspek kesejahteraan rakyat yang harus diberi perhatian serius khususnya usaha memerangi kemiskinan. Kota Iskandar berharap usaha memerangi kemiskinan harus jadi sebagai jihad ekonomi. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, yang masih ramai rakyat masih terkapai-kapai dan perlu dibantu. Justeru, Kota Iskandar mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang berperanan dan meneliti dan mengkaji serta mengesyorkan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan. Namun, usah berikan ikan, tetapi hulurkan kail kepada mereka untuk mencari rezeki. Contoh, bantu dan gembleng mereka untuk melibatkan diri dalam pelbagai aspek seperti perniagaan, pertanian, penternakan yang boleh membantu memberi hasil untuk menyara keluarga mereka. Dalam kesesakan lalu lintas Kota Iskandar juga berharap kerajaan dapat memanjangkan projek menaik taraf jalan UTM ke Taman Pulai Indah sehingga ke Ulu Choh. Serta Jalan Pulai Indah ke lingkaran jalan UTM. Perkara ini penting bagi mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di laluan berkenaan ekoran bertambah bilangan kenderaan yang mengguna laluan tersebut susulan pembinaan banyak kawasan perumahan di kawasan tersebut sejak 10 tahun kebelakangan ini. Isu kesesakan ini turut memberi kesan psikologi terhadap pengguna jalan raya sekali gus menjejaskan emosi dan produktiviti mereka jika sering datang lambat ke pejabat, tempat kerja sudah pasti prestasi dan produktiviti mereka menurun. Keadaan ini akan menjejaskan mutu perkhidmatan mereka kepada pelanggan khususnya bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan saya menyokong penuh pelaksanaan Semarak Subuh yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Permintaan saya di DUN Kota Iskandar Datuk Speaker, saya ada dua daerah. Daerah Johor Bahru di ketuai oleh Pegawai Daerah, di Kulai diketuai oleh Pegawai Daerah. Setiap kali rombongan Kota Iskandar datang ke Masjid atau surau Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Bandar MBIP dan pegawai-pegawainya akan turut sama. Dalam konteks ini kita dapat menyelesai banyak masalah. Ini siri ke-19, hendak masuk siri ke-20 Datuk Speaker, permintaan amat tinggi selepas kita berjemaah, selepas kita mendengar tazkirah then kita breakfast dengan mereka, di situlah masalah yang rakyat disampaikan. Sebab itu saya rasa bangga, berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi, jalan yang penghabisan bahawa pastikan bahawa kasino tak akan berlaku di Forest City. (Dewan bertepuk). Sejak kebelakangan ini kalau kita pergi ke masjid, di surau, di perhimpunan-perhimpunan rakyat salah satu isu adalah kasino. Alhamdulillah terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar pastikan kerajaan ini tegas dengan pendirian kita.
Kedua, tindakan, setiap kali kita hadir semarak subuh ini masa kita minum dengan masyarakat-masyarakat mengutarakan masalah dan permohonan. Sekarang wakil rakyat tidak boleh berucap di dalam masjid. Ini kekangan kita, sebenarnya secara dasarnya, kita jumpa ke masjid atau pun ke surau hendak menjalankan dasar-dasar. Saya sebagai wakil rakyat Datuk Speaker, hendak menjelaskan SEZ ke, SFZ ke dengan ilmu yang kurang
pengetahuan sebagai, bagaimana kita menenangkan suasana rakyat? Rakyat sekarang pandai, kadang-kadang rakyat ini terpengaruh dengan media sosial, dia suruh terima sahaja. Jadi, saya ucap terima kasih kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di samping kita mempunyai sumbangan Datuk Speaker, Datuk Bandar pun beri sumbangan lebih besar daripada ADUN, teruskan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, begitu juga Datuk DO Kulai dan agensi lain dan terima kasih kepada PDRM juga.
Saya untung Datuk Speaker, bila dalam kumpulan ADUN pergi ke sesuatu masjid dan surau pihak polis tidak pernah ketinggalan. Jika ada kesesakan, esok dia dah hantar dah polis untuk jaga kesesakan dekat traffic light yang mengalami masalah sebagainya. Dan, tindakan daripada Majlis pula mohon cantaskan pokok, itu jam juga jurutera call pegawai buat tindakan. Tahniah kepada kerajaan Johor Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang mengilhamkan sisi Semarak Subuh ini. Dan, akhir kata hari ini saya menepati masa, saya tepat (bacaan surah) Datuk Pengerusi pun tak tegur saya, Datuk Speaker tak tegur saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Speaker yang dapat mengawal keadaan Persidangan dengan baik dan mudah-mudahan Datuk pun datang hendak jumpa pusat-pusat yang tertentu, boleh jumpa saya. Kita boleh makan asam pedas di Kampung Sungai Melayu, Datuk kalau hendak main tadi, main golf kalau minat Datuk nak main golf...
Saya tak main golf Yang Berhormat.
Ok, saya penjaga sempadan. Kalau Datuk hendak pergi Batam..
Saya main Jet Ski.
Main apa Datuk?
Jet Ski.
Ada juga di Forest City ada, ada laut yang cantik, pantai yang cantik, putih melepak kata orang kampung. Saya invite Datuk Pengerusi, lain kali boleh lah bagi 10 minit tambahan.
Boleh Insya-Allah.
Jadi, akhir kata itu, saya mengucapkan terima kasih ke atas rakan-rakan, pegawai-pegawai kerajaan yang sentiasa menyokong permintaan atau permohonan bantuan kepada wakil rakyat khasnya kami di Kota Iskandar. Terima kasih banyak-banyak, mudah-mudahan Allah merahmati perjuangan kita dan melihat Bangsa Johor disegani di merata dunia. Sekian, Kota Iskandar menyokong. Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Terima kasih Kota Iskandar. Dijemput Yang Berhormat Gambir.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Gambir mewakili seluruh rakyat Bangsa Johor di DUN Gambir merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga bagi Dewan Negeri Johor yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker yang saya kagumi, Maju Johor sebuah gagasan yang diilhamkan pada tahun 2022 oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor harus menjadi satu visi dan misi yang dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat. Enam
teras yang menjadi tonggak dan cabaran menuju Maju Johor menjelang 2030 perlu difahami tiap bait patah perkataan. Perlu diserap dalam pemikiran rakyat menjadi satu fenomena perbualan di mana sahaja. Malah satu cita-cita dan hasrat yang menjadi impian segenap lapisan kelompok masyarakat dalam negeri Johor. Hakikat ini perlu kita renungkan bersama apakah hari ini perkataan Maju Johor diperbualkan oleh rakyat marhaen? Apakah Maju Johor menjadi topik perdebatan rakyat atau hanya pemimpin kerajaan sahaja mengungkapkan salam Maju Johor dalam pembukaan setiap ucapan? Namun, ucapan tersebut ungkapan tersebut langsung tidak membekas dan tidak mengetuk sensitiviti Bangsa Johor secara keseluruhannya. Gambir mencadangkan supaya kempen-kempen penerangan dilipat gandakan dalam pelbagai platform media. Kreativiti kita dalam memasarkan jenama Maju Johor ini perlu dicanang di pelbagaikan dan dipropagandakan agar rakyat faham dan bersama-sama seiring sederap dan selangkah dalam memastikan hasrat suci, hasrat murni Dato’ Menteri Besar Johor kita dalam memajukan negeri Johor yang tercinta ini menjadi satu hasrat bersama seluruhnya Bangsa Johor. Mungkinkah kita boleh memulakan dengan kaji selidik umum berkenaan tahap pengetahuan dan kesedaran Bangsa Johor terhadap gagasan Maju Johor 2030 ini.
Setelah dua tahun Yang Berhormat Datuk Speaker, Maju Johor ini digagaskan. Setelah pelbagai usaha, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan negeri bertuah ini terus berkembang maju. Kerajaan juga telah mengeluarkan report card dengan izin, Yang DiPertua, dengan izin Datuk Speaker. Dokumen ini menunjukan kesediaan kerajaan negeri berkongsi dengan rakyat tentang pencapaian atau pun semua inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor. Jika dirujuk ianya telah memasuki edisi kedua, bermaksud sudah ada edisi pertama pada penggal yang lepas. Makanya setelah kita keluarkan dokumen ini, persoalannya sejauh mana Bangsa Johor secara umumnya menyedari dan memahami bahawa tanah tempat mereka berpijak hari ini mempunyai keazaman dan iltizam yang tinggi untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. Bagaimana pula rakyat negeri Johor ini mengetahui, memahami dan menghadapi keseluruhan kandungan di dalam dokumen Maju Johor yang dikeluarkan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejauh mana pula rakyat berpuas hati tentang tahap pencapaian yang telah direkodkan, kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mendengar denyut nadi rakyat. Dan, inilah masa yang terbaik untuk kerajaan menjalankan kaji selidik supaya apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini benar-benar menepati kehendak rakyat. Kita tidak mahu kerajaan dihukum kerana berbuat sesuatu yang tidak berpaksikan kepada keinginan rakyat. Maju Johor merupakan satu dokumen perancangan untuk memajukan negeri Johor secara keseluruhannya secara menyeluruh. Gambir tidak menolak sebarang program pembangunan yang ingin dirancang dan dilaksanakan di tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun, Gambir ingin menekankan dalam pelbagai siri perbahasan di dalam Dewan yang mulia ini juga Gambir telah membawakan bahawa ianya harus tidak meminggirkan mana-mana daerah, mana-mana wilayah yang berada dalam negeri Johor.
Johor Utara contohnya Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini masih lagi tidak kelihatan satu perancangan yang betul-betul padu untuk membangunkan Johor Utara. Gambir pernah mencadangkan supaya diwujudkan satu koridor yang baharu di Johor Utara contohnya, pembangunan Johor utara yang boleh menggabungkan tiga atau pun empat daerah yang bersekali untuk memastikan bahawa Johor ini tetap dibawa bersama dalam membangunkan dan memajukan negeri yang indah ini.
Yang kedua ia juga Gambir pernah mencadangkan supaya Johor Utara ini dipadankan dengan GLC yang mampu untuk sama-sama membantu dan memangkin kepada kemajuan di Johor Utara.
Yang Berhormat Datuk Speaker yang kekal dengan senyuman sepanjang hari.
Dalam titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang lalu, baginda telah menekankan tentang akses kepada pendidikan berkualiti. Gambir menyambut baik tentang titah ini dan menyambut baik Aspirasi Pendidikan Maju Johor yang menjadi asas kepada hala tuju pendidikan Johor di bawah kepimpinan pengarah pendidikan yang baru. Aspirasi Pendidikan Maju Johor yang menggariskan 6 elemen utama ini dilihat telah mengambil kira segala cabaran yang ada dengan mengutamakan proses kemenjadian pelajar yang bakal menjadi tunjang kepada kemajuan negeri Johor yang bertuah ini.
Walau bagaimanapun, dalam kita menjayakan Aspirasi Pendidikan Maju Johor ini terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh tiap pentadbiran dan juga guru-guru, antaranya kesedaran terhadap pendidikan. Sejauh mana falsafah dalam Aspirasi Pendidikan Maju Johor ini difahami sepenuhnya oleh ibu-bapa, oleh murid-murid, oleh guru-guru dan masyarakat. Apakah usaha yang akan dilakukan oleh pihak pentadbiran pendidikan negeri ini untuk membawa kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat tentang kewujudan Aspirasi Pendidikan Maju Johor? Bahkan apakah usaha yang akan dilakukan oleh pihak pendidikan bagi membawa masyarakat bergerak bersama dalam menjayakan Aspirasi Pendidikan Maju Johor ini?
Apakah usaha contohnya untuk kita mengurangkan keciciran pelajar seperti mana yang telah disebutkan oleh Sri Medan semalam. Budaya ponteng yang masih lagi berleluasa, bagaimana kita ingin mencapai sifar dalam konteks tersebut. Cabaran kedua yang boleh kita kongsikan adalah dari aspek pengurusan sumber dan infrastruktur sekolah. Persoalan yang sering bermain di pemikiran Gambir hari ini adalah, sejauh mana infrastruktur dan kemudahan yang ada di sekolah kita ini benar-benar mencukupi, benar-benar memadai dan benar-benar cukup dan lengkap dalam landasan yang tepat menuju Maju Johor 2030?.
Pihak sekolah perlu dibekalkan dengan sumber dan infra yang mencukupi dalam melaksanakan segala elemen dalam Aspirasi Pendidikan Maju Johor 2030 seperti pendidikan digital dan kecemerlangan akademik. Apakah kita mempunyai data yang lengkap terhadap segala kekurangan kemudahan dan infra yang ada di sekolah-sekolah? Dan apakah perancangan kita ini untuk memastikan sekolah-sekolah ini menerima keperluan kemudahan dan infra yang mencukupi? Berapa banyakah bilangan kelas yang masih tidak mempunyai smart tv, misalnya? Berapakah pula bilangan sekolah yang masih tidak mempunyai smart board, contohnya. Ini semua penting dalam usaha kita memastikan pencapaian dalam Aspirasi Pendidikan Maju Johor dapat dicapai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang baru dicadangkan merupakan idea yang cukup bijaksana daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini. Ini yang kita mahukan Datuk Speaker, pemimpin utama negeri yang berusaha begitu bersungguh-sungguh dalam membangunkan, memakmurkan dan memajukan negeri.
Zon Ekonomi Khas ini menjanjikan pelbagai potensi yang besar dan berfaedah untuk Johor dan Singapura, antaranya mengeratkan hubungan ekonomi dan mewujudkan pusat dinamik untuk inovasi dan pembangunan di rantau Asia.
Pelbagai cabaran telah pun dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini, akhirnya pada hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir ingin membangkitkan tentang bagaimana kita boleh menakluki kesesakan Tambak Johor yang menjadi penghalang sekiranya ia boleh digunakan pakatan tersebut dalam kita mencapai kejayaan pelaksanaan SEZ ini. Setiap hari Datuk Speaker, 400,000 rakyat Malaysia menyeberang tambak mencari rezeki di Singapura. Perjalanan bermula jam 4 pagi dengan menaiki motosikal ataupun pengangkutan awam seperti bas. Sistem Transit Rapid yang kini sedang dibina dengan kapisiti 10,000 penumpang diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan, tetapi RTS ini tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kesesakan di Tambak Johor.
Sekiranya ia beroperasi pada tahun 2027, RTS hanya mampu mengurangkan 30% kesesakan. Namun, satu perkara menarik yang diperkenalkan dalam RTS ini adalah CIQ go location dimana pegawai Imigresen Malaysia dan Singapura di tempatkan di sempadan di kedua-dua negara. Ini bermaksud, pelawat cuma perlu melalui pemeriksaan Imigresen sekali sahaja.
Persoalannya, mengapa terhenti di situ? Mungkinkah sistem ini sesuai dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan diperluaskan kepada mereka yang masuk ke Malaysia dengan kenderaan darat yang lain seperti bas dan kereta? Jika sistem ini dibuktikan berkesan dan efisien untuk penumpang RTS, pihak berkuasa sewajarnya meningkatkan usaha supaya sistem ini juga dapat diimplementasikan di kesemua laluan-laluan antara Johor dan Singapura.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu perkara yang kerajaan perlu berhati-hati dan teliti dalam pelaksanaan Zon Ekonomi Khas ini adalah berkaitan dengan isu inflasi. Apalah makna segala macam pembangunan dan kemajuan, jika rakyat terpaksa membayar harga yang mahal untuk barang-barang keperluan dan perkhidmatan? Apalah ertinya pemodenan jika rakyat terpaksa menanggung penderitaan?
Isu inflasi ini adalah satu perkara yang sangat penting untuk ditangani oleh kerajaan. Bagi memastikan bahawa kepesatan dalam Zon Ekonomi Khas ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi memastikan harga barangan terus stabil, apakah kerajaan sudah bersedia dengan jentera pemantauan dan pemerkasaan? Ini sangat penting kerana kadar inflasi perlu dipantau dan diteliti dan kerajaan perlu memperbetulkan sebarang isu dalam rantaian bekalan dengan pantas dan cepat. Kerajaan juga harus memberi jaminan barang keperluan dan perkhidmatan kekal mampu milik dan mampu biaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir menyokong sepenuhnya pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ini. Sekali lagi ia merupakan satu idea yang hebat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita dan seluruh kepimpinan negeri. SEZ ini bukan sekadar projek ekonomi, dia adalah simbol kemakmuran bersama dengan menerima cabaran ini dan melaksanakan penyelesaian strategik kita boleh membina masa depan yang berdaya tahan dan makmur untuk kedua-dua negara.
Mari belajar dari moden dan berjaya seperti Hong Kong di mana pelaburan berani mereka dalam bidang infrastruktur dan bakat telah mendorong pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di sana. Dalam permaidani kejayaan ekonomi serantau, SEZ Johor-Singapura ini boleh menjadi contoh yang cemerlang diikat dengan benang kerjasama rentas sempadan, inovasi dan pertumbuhan yang mampan. Usaha sama ini bukan sekadar angka dan statistik tetapi melibatkan insan, impian mereka, aspirasi mereka untuk masa depan yang lebih gemilang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu bekalan air di Johor menjadi satu polemik dan perdebatan rakyat terutama musim perayaan. Gambir rasa hampir setiap perbahasan di dalam Dewan yang mula ini bergema dengan izin isu bekalan air bersih ini sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Untuk rekod, Gambir ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan khususnya kepada Yang Berhormat EXCO Kerjaya dan Infrastruktur yang berusaha membantu mengatasi masalah ini.
Demikian juga kepada Pengurus Operasi, Ketua Agensi dan kakitangan Ranhill SAJ Muar-Tangkak yang telah memainkan peranan dan berusaha begitu bersungguh-sungguh atas kapasiti yang ada untuk memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan terutamanya pada musim perayaan yang lalu. Pelbagai kaedah dicuba pakai, pengenalan kaedah inline injection, online injection, pemasangan tangki statik di beberapa hot spot dan pembekalan air terus ke
rumah melalui lori tangki, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak terputusnya bekalan air walaupun mungkin ada masalah di sana dan sini.
Gambir merasakan sampai bilakah Bangsa Johor ini akan dihidangkan dengan cerita terputusnya bekalan air bersih seperti ini? Sampai bilakah bangsa Johor ini akan sentiasa berada dalam kebimbangan terutama menjelang musim perayaan. Apakah kita mampu memberikan alasan yang sama berulang-ulang, apakah rakyat boleh menyerap alasan yang sama berulang-ulang? Alasan penggunaan tinggi, musim panas yang berlarutan walaupun betul, tetapi sudah tidak lagi wajar diberikan. Ranhill SAJ sewajarnya sudah membuat jangkaan yang penggunaan yang tepat pada setiap waktu puncak, persediaan untuk mencukupkan jangkaan penggunaan tersebut sewajarnya sudah ada dan mampu untuk dilaksanakan pada ketika diperlukan. Kesiapsiagaan loji dan tangki perlu dipertingkatkan, perancangan untuk menambah tangki simpanan dan mengoptimumkan kapasiti loji harus segera dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di DUN Gambir saya dikhabarkan bahawa satu tangki baru akan dibina bagi menyelesaikan masalah air di Kampung Hang Tuah dan sekitarnya. Perancangannya sudah ada namun sehingga kini progres pelaksanaannya sangat perlahan. Saya merayu budi bicara kerajaan negeri agar mencari jalan supaya pembinaan tangki baru dapat dipercepatkan.
Kerajaan negeri juga harus mencari jalan dan alternatif lain bagi memastikan bekalan air ini tidak terganggu. Air merupakan satu keperluan utama hidup manusia, penambahan dan pembinaan tangki baru, penggantian paip-paip lama, peningkatan kapasiti loji dan pamnya harus disegerakan dan dipercepatkan bagi mengimbangi kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk.
Janganlah rakyat dihukum dengan kerancakan pembangunan yang baru. Janganlah rakyat merasa teraniaya dengan perancangan pembangunan yang gagal mengambil kira keperluan bekalan air bersih dan terawat yang mencukupi. Apakah sehingga kita perlu mencadangkan supaya dihentikan segala projek pembangunan sehingga ada jaminan daripada Ranhill SAJ dan kerajaan negeri bahawa bekalan air di Johor ini benar-benar mencukupi? Keadaan ini bertambah buruk Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila sering berlaku kejadian paip air pecah ataupun bocor.
Di dalam daerah Tangkak sahaja, pada 2 minggu yang lepas sebanyak 3 kali kejadian paip air pecah pada minggu yang sama. Apakah alasan yang boleh kita berikan, menuding jari kepada Ranhill SAJ cukup mudah, tetapi mereka hanya operator atau pengendali perkhidmatan semata-mata. Kerajaan harus mencari jalan untuk segera menggantikan paip-paip lama yang sudah uzur. Sudah pasti ia mempunyai implikasi kewangan yang tinggi tetapi demi rakyat, demi Bangsa Johor jika perlu dapatkan pinjaman atau bantuan kewangan dari pusat, maka lakukanlah. (Dewan bertepuk). Ini semua untuk maslahat dan kebaikan bangsa Johor secara keseluruhannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada ketika rakyat tidak gembira dengan prestasi pembekalan air di rumah tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita kenaikan tarif air di negeri bertuah ini. Sesungguhnya berita dan pengumuman ini sangat tidak tepat pada masanya. Saya menyarankan agar kerajaan negeri menangguhkan terlebih dahulu kenaikan tarif air ini ke suatu tempoh yang lain. Rakyat benar-benar tidak gembira bukan soal kemampuan mereka untuk membayar tarif tersebut tetapi pada ketika perkhidmatan bekalan air tidak mampu untuk dilaksanakan dengan baik, tiba-tiba saja rakyat dipaksa membayar satu kadar tarif yang lebih tinggi.
Yang Berhormat tinggal satu minit lagi.
Baik, sikit lagi. Satu isu saja lagi. Yang Berhormat Datuk Speaker penjagaan kesihatan merupakan satu keperluan utama rakyat di negeri Johor. Kita mahukan Bangsa Johor ini sentiasa sihat tubuh badan, cergas pemikiran dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada negeri dan negara. Di DUN Gambir sekali lagi saya merayu kepada kerajaan negeri supaya pembinaan sebuah klinik kesihatan baru type C, di tempat yang baru disegerakan. Kondisi Klinik Kesihatan Bukit Gambir yang ada pada ketika ini sangat-sangat tidak kondusif dan tidak sesuai dari sudut kesihatan dan keselamatan terutamanya kepada warga emas dan mereka yang tidak berupaya.
Ruang meletak kenderaan hanya ada 10 ruang. Pesakit terpaksa meletakkan kenderaan di rumah kedai berhadapan dengan klinik, terpaksa berjalan kaki melintas jalan raya yang sibuk, terpaksa melalui jalan yang berbukit untuk sampai ke Klinik Kesihatan Bukit Gambir. Sesungguhnya saya merasa dukacita kerana sehingga kini belum lagi mendengar khabar berita yang baik untuk saya sampaikan kepada masyarakat di Bukit Gambir berkenaan klinik yang baru. Apa isu kelewatannya Datuk Speaker?
Jika diukur dari sudut keperluan memang sudah terang lagi bersuluh Klinik Bukit Gambir perlu dipindahkan di tempat yang baru. Apa masalahnya sekarang? Masalah tanah? Adakah masalah ini harus kita kembalikan semula kepada rakyat? Saya telah cadangkan 1 atau 2 tanah kerajaan yang boleh digunakan. Jika tak sesuai dan jika perlu dilaksanakan pengambilan balik tanah, laksanakanlah. Mengapa isu ini dibiarkan bertahun-tahun tanpa penyelesaian? Mengapa menutup mata dan telinga terhadap keperluan rakyat Gambir terhadap klinik yang baru. Kami tidak minta sebuah hospital baru tersergam indah dibina, kami tidak minta poliklinik. Saya berharap Yang Berhormat EXCO Kesihatan dapat memberikan jawapan positif di atas kejutan ini.
Yang Berhormat, masa habis.
Untuk makluman Yang Berhormat EXCO, saya sentiasa berulang alik ke klinik ini pada setiap bulan. Menguruskan rawatan susulan ibu saya dan saya sangat memahami kesusahan pesakit untuk mendapatkan rawatan di sana. Saya merakam jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor dan semua kakitangan di klinik kesihatan yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan profesional di sebalik kekurangan yang ada. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas ruang dan peluang yang diberi, Gambir mohon menyokong. Sekian, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Gambir, dijemput Bukit Batu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera, salam Malaysia Madani dan salam Maju Johor kepada semua ADUN Johor yang mulia. Saya mulakan perbahasan dengan mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu, emak, mummy dan umi antara gelaran yang diberi untuk permaisuri hati. Pengorbanan seorang ibu tiada gantinya. Sentiasa memberi yang terbaik untuk anak-anak. Terima kasih ibu. Patik merafak sembah menjunjung kasih setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Persidangan Ketiga bagi Dewan Negeri Johor yang Ke-15. Terima kasih kepada semua ADUN yang hadir hari ini. Saya yakin dengan kerjasama kita dapat mencapai impian dan cita-cita untuk kebaikan bersama negeri Johor yang kita cintai. Selamat berbahas dan semoga kita mendapat keputusan yang terbaik untuk rakyat Johor.
Dengan rasa bangga dan penuh kegembiraan saya ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Majlis Perbandaran Kulai atas pengiktirafan yang dianugerahkan sebagai salah satu daripada 10 bandar yang terpilih sebagai bandar paling bahagia bagi tahun 2024 di Malaysia. Pengiktirafan ini adalah satu, menandakan usaha gigih dan komitmen yang
telah diberikan oleh setiap individu di dalam komuniti Kulai. Sebagai bandar paling bahagia, Majlis Perbandaran Kulai telah menonjolkan dirinya sebagai contoh yang cemerlang dalam membina komuniti yang sejahtera, harmoni dan mesra. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama yang kukuh dari semua lapisan masyarakat, pemimpin tempatan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan dalam usaha mencapai pengiktirafan ini kepada Yang Berhormat Teo Nie Chin, Ahli Parlimen Kulai, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, EXCO Bukit Permai, YB Wong Bor Yang, ADUN Senai, Tuan Fizwan bin Dato’ Haji Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai dan juga Tuan Mohamad Fahmi bin Salam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai. Kepada semua warga Kulai, saya ingin mengucapkan tahniah atas pencapaian ini. Ia adalah bukti keupayaan kita untuk bekerjasama, bertolak ansur dan membina persekitaran yang kondusif untuk kebahagiaan dan kesejahteraan bersama. Penghargaan ini bukan sekadar satu pengiktirafan tetapi juga satu sumber inspirasi untuk terus berusaha dan mencipta kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Beberapa isu utama yang menjadi tumpuan dalam perbahasan saya termasuklah kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri, isu geran tanah di DUN Bukit Batu, cadangan projek menaik taraf jalan Johor Bahru – Ayer Hitam FT001 dan isu banjir kilat di kawasan DUN Bukit Batu. Saya akan membahaskan setiap isu dengan lebih terperinci untuk memahami kesannya terhadap masyarakat tempatan dan langkah-langkah yang boleh ambil oleh kerajaan negeri Johor untuk mengatasinya.
Kenaikan gaji penjawat awam merupakan isu yang penting dan berkait rapat dengan kebajikan pekerja serta keseluruhan ekonomi negara. Pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam di peringkat persekutuan telah mencetuskan perbincangan yang meluas, namun pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri juga perlu dipertimbangkan bagi menjamin kesaksamaan dan keadilan.
Pertama sekali, kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri adalah wajar kerana keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dengan meningkatkan gaji mereka, ini dapat membantu menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku secara meluas. Selain itu, penjawat awam juga berperanan penting dalam penyelenggaraan perkhidmatan awam yang berkualiti. Dengan memberi ganjaran yang setimpal, ia dapat meningkatkan motivasi dan prestasi mereka dalam menjalankan tugas harian.
Kedua, kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri dapat membantu mengekalkan dan menarik bakat terbaik ke dalam perkhidmatan awam. Dengan persaingan yang sengit dari sektor swasta penting untuk memastikan bahawa gaji penjawat awam dapat bersaing dengan kadar yang munasabah. Ini akan memastikan bahawa kita mempunyai kakitangan yang berkualiti dan kompeten untuk menyediakan perkhidmatan awam yang cemerlang kepada rakyat.
Ketiga, kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri akan memberi manfaat langsung kepada mereka yang bekerja keras untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Dengan menaikkan taraf kehidupan mereka, ia dapat membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga dan mengurangkan tekanan kewangan yang mereka hadapi.
Keempat, kenaikan gaji penjawat awam juga akan memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan apabila penjawat awam mempunyai lebih banyak wang untuk dibelanjakan, ini akan menggalakkan perbelanjaan dalam ekonomi yang pada gilirannya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor-sektor yang berkaitan. Dengan memberi ganjaran yang lebih baik kepada penjawat awam negeri Johor ini membantu menangani beban kewangan semakin meningkat di kalangan mereka.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri adalah penting untuk menjamin keadilan, kesaksamaan dan kesejahteraan rakyat. Dengan memberikan ganjaran yang setimpal kepada mereka yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam, kita dapat memastikan keberkesanan dan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam. Kita dapat memastikan keberkesanan dan kecemerlangan dalam menyampaikan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Oleh itu, langkah ini sepatutnya disokong dan dilaksanakan dengan segera demi kebaikan bersama.
Isu geran tanah yang dihadapi oleh beberapa kampung di DUN Bukit Batu adalah satu masalah yang memerlukan perhatian serius. Ketidakupayaan untuk memecah geran tanah kerana dimiliki oleh seorang individu telah menyebabkan ketidakpastian dan kebimbangan di kalangan pemilik rumah yang mendiami kawasan tersebut selama lebih daripada 40 tahun. Pemilikan rumah tanah tersebut menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, ketidakupayaan untuk memohon pecah geran tanah. Proses pemecahan geran tanah yang rumit dan lama menyebabkan pemilik rumah tidak dapat memohon kepemilikan tanah yang mereka tempati,
Nombor 2, ketidakpastian kediaman. Risiko kehilangan tempat kediaman yang diduduki selama beberapa dekad akibat kegagalan mendapatkan pemilikan tanah yang sah. Kesemua cabaran ini menimbulkan kebimbangan dan ketidakstabilan di kalangan penduduk kampung serta merumitkan usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Untuk mengatasi masalah ini dengan berkesan, satu jawatankuasa yang melibatkan semua ADUN kawasan perlu ditubuhkan. Jawatankuasa ini boleh bertanggungjawab untuk melalui penelitian dan kajian. Jawatankuasa boleh mengenal pasti punca-punca dan faktor-faktor yang menyebabkan ketidakupayaan memecahkan geran tanah. Berdasarkan penilaian terperinci, jawatankuasa boleh mencadangkan kaedah penyelesaian yang praktikal dan berkesan termasuk pemecahan geran tanah, pemindahan pemilikan atau penyelesaian undang-undang lain yang sesuai. Jawatankuasa boleh berinteraksi dengan pemilik rumah, ahli masyarakat tempatan dan juga agensi-agensi berkaitan untuk memahami keperluan dan kebimbangan mereka serta memastikan penyelesaian yang diperoleh adalah adil dan bersepadu. Dengan melibatkan semua ADUN, jawatankuasa ini dapat memberikan sokongan politik dan sumber daya yang diperlukan untuk memastikan penyelesaian yang berkesan bagi isu geran tanah ini. Ini akan membantu memastikan hak-hak pemilik rumah terpelihara dan menyumbang kepada kestabilan sosial, ekonomi dalam komuniti tempatan.
Isu yang ketiga, saya nak bawa adalah cadangan projek menaik taraf jalan di jalan Johor Bahru - Ayer Hitam (FT001). Dari kilometer 42.6 sehingga kilometer 60.3 dalam daerah Kulai, Johor adalah satu langkah yang penting dan perlu untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di kawasan tersebut. Saya ini ingin menarik perhatian dan mendapatkan pertimbangan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri Johor untuk melaksanakan projek ini. Projek ini mempunyai beberapa justifikasi yang relevan untuk dilaksanakan di negeri Johor.
Pertamanya, menaik taraf jalan ini akan meningkatkan keselamatan pengguna jalan dengan menyediakan jalan yang lebih luas, rata dan selamat. Ini akan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang sering berlaku di kawasan ini. Dalam pertumbuhan trafik yang pesat, jalan sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat. Oleh itu, menaik taraf jalan adalah penting untuk meningkatkan kapasiti jalan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, jalan yang dalam keadaan baik adalah penting untuk memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan. Yang pada gilirannya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut. Ini dapat menarik pelaburan baru dan mencipta peluang pekerjaan tempatan. Dengan jalan yang lebih luas, rata dan selamat, risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan secara signifikan. Ini memberi perlindungan kepada pengguna jalan dan mengurangkan kesan negatif kepada masyarakat akibat kemalangan yang berlaku.
Kesesakan lalu lintas adalah masalah yang sering dihadapi oleh penduduk tempatan dan pengguna jalan di kawasan Johor Bahru – Ayer Hitam (FT001). Pelaksanaan projek ini membawa manfaat pengurangan kesesakan lalu lintas dengan meningkatkan kapasiti jalan. Pengguna jalan akan mendapati perjalanan mereka menjadi lebih lancar dan lebih cepat. Meningkatkan efficiency perjalanan harian dan mengurangkan masa yang dihabiskan dalam kesesakan. Projek ini akan meningkatkan aksesibiliti ke pelbagai destinasi penting seperti bandar, pusat perniagaan dan kawasan pelancongan di sekitar kawasan jalan Johor Bahru – Ayer Hitam. Dengan jalan yang ditingkatkan, penduduk setempat akan mendapat kemudahan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan awam, fasiliti perniagaan dan peluang pekerjaan. Ini akan memudahkan pergerakan harian mereka dan meningkatkan kualiti hidup yang secara keseluruhan. Meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan pengangkutan yang diperoleh melalui pelaksanaan projek ini akan mendorong pertumbuhan ekonomi tempatan. Keselamatan yang ditingkatkan, pengurangan kesesakan lalu lintas, peningkatan aksesibiliti dan pertumbuhan ekonomi tempatan adalah faktor-faktor yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat.
Dengan adanya projek ini, masyarakat setempat akan merasakan peningkatan dalam kualiti hidup mereka. Keselamatan dan peluang ekonomi mencipta komuniti yang lebih stabil dan sejahtera secara keseluruhan. Dengan mengambil kira semua manfaat yang boleh dicapaikan melalui pelaksanaan projek ini, adalah jelas bahawa langkah ini adalah penting untuk pembangunan dan kemajuan kawasan tersebut serta kesejahteraan masyarakat setempat. Secara kesimpulan cadangan menaiktaraf di Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam (FT001) adalah satu langkah yang penting untuk meningkatkan infrastruktur jalan raya di kawasan Kulai – Johor. Saya berharap kerajaan negeri Johor dapat memberikan perhatian dan sokongan yang sewajarnya untuk melaksanakan projek ini demi kebaikan bersama. Baru-baru ini Yang Berhormat Datuk Speaker, beberapa kawasan di DUN Bukit Batu seperti Jalan Seruling Taman Sri Kulai Baru 2 dan Jalan Scientex di hadapan Taman Glomax mengalami masalah banjir kilat yang serius. Fenomena ini memberi kesan serius kepada penduduk tempatan dan memerlukan tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut.
Terutamanya banjir kilat di Batu 21 Kulai, merupakan isu yang mendesak dan berkait rapat dengan punca pembangunan tanah tanpa sempadan serta infrastruktur saliran yang tidak mencukupi. Untuk mengatasinya, langkah-langkah seperti meningkatkan sistem saliran, mengawal pembangunan melakukan penyelidikan dan pemantauan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat perlu diambil.
Antara punca banjir kilat:
1. Pembangunan yang pesat dalam kawasan tersebut mungkin telah menyebabkan pengecilan saluran air semulajadi dan penurunan daya serap tanah serta meningkatkan risiko banjir kilat.
2. Sistem saluran air sedia ada mungkin tidak mampu menangani aliran air yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat, menyebabkan air melimpah ke jalan-jalan dan kawasan perumahan.
3. Pembuangan sampah yang tidak teratur boleh menyumbang kepada penyumbatan longkang dan sistem saliran, menyebabkan air bertakung dan membanjiri kawasan sekitarnya.
Jadi, tindakan yang perlu diambil dan cadangan-cadangan daripada saya adalah, Pihak Kerajaan Tempatan boleh memastikan bahawa pembangunan di kawasan tersebut mengambil kira kelestarian alam sekitar dan mematuhi standard penilaian impak alam sekitar. Nombor dua, memperbaharui dan meningkatkan sistem pembuangan air sedia ada termasuk meluaskan dan membersihkan saluran air serta meningkatkan kapasiti sistem pembuangan.
Seterusnya, menggalakkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga alam sekitar termasuk amalan pembuangan sampah yang betul dan keperluan untuk memelihara saluran air yang bersih.
Ketika ini penduduk tempatan sedang menghadapi kesan yang merugikan akibat banjir kilat yang berulang kali berlaku. Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon agar YB EXCO Kerajaan Tempatan dan Perumahan dapat mengambil langkah-langkah yang diperlukan, boleh ya Yang Berhormat? Yang Berhormat ini selalu bantu kawasan saya juga, terima kasih Yang Berhormat untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Kami berharap agar sumber dan tenaga kerajaan negeri Johor dapat diperuntukkan untuk meningkatkan infrastruktur pembuangan air, memperbaharui saluran air yang sedia ada dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Kerjasama YB EXCO dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kami adalah amat dihargai. Kami yakin bahawa dengan tindakan yang tepat, kita boleh mengatasi masalah ini dengan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan.
Kesimpulannya, isu-isu kerajaan negeri Johor serta DUN Bukit Batu seperti kenaikan gaji penjawat awam di peringkat negeri, isu geran di DUN Bukit Batu, cadangan projek menaik taraf Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam (FT001) dan masalah isu banjir kilat memerlukan tindakan serta perhatian yang serius daripada kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat, tinggal 2 minit lagi.
Boleh Datuk Speaker. Dengan menganalisis setiap isu secara menyeluruh, kita dapat memahami impaknya terhadap masyarakat tempatan. Kerajaan negeri Johor perlu mengambil langkah-langkah proaktif dan berkesan dalam menangani setiap isu demi kepentingan bersama masyarakat tempatan. Demi kerjasama dan sokongan yang kukuh daripada pelbagai pihak, kita dapat mencapai pembangunan yang mampan dan kesejahteraan yang berkekalan di seluruh Johor. Sekian, terima kasih. Maju bersama Bukit Batu.
Terima kasih, Bukit Batu. Dijemput Yang Berhormat Kahang.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Terlebih dahulu Kahang ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tungku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tunku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas misi besar beliau dalam konteks Johor-Singapura Special Economic Zone dan Special Financial Zone. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah memaklumkan bahawa Special Economic Zone ini merangkumi kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang. Rata-ratanya rakyat negeri Johor pada hari ini memang berasa cukup dalam konteks dengan izin, excited dengan perkembangan terbaharu ini. Mungkin dalam konteks ia akan membawa pelaburan yang tinggi memperbaiki infrastruktur di negeri Johor, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya. Tetapi antara isu yang paling dekat dengan hati rakyat Johor ialah apabila JSEZ ini dibangunkan dan dah ada Special Financial Zone ini sama ada isu ulang-alik dari antara Johor ke Singapura, Singapura ke Johor ini ia akan menjadi passport-free travel. Ini lah antara perkara yang sebenarnya difikirkan secara mendalam oleh rakyat negeri Johor kerana ia menjadi satu isu bagi mereka yang berulang-alik berpuluh tahun di antara Singapura dan Johor, Johor ke Singapura. Jadi, saya harap apabila perkara ini dibangunkan, akan ada kepercayaan di antara dua-dua negara, Malaysia dan juga Singapura khususnya di Johor bahawa isu seperti passport travel, free travel ini akan diimplimentasikan.
Yang Berhormat Speaker, beberapa penggal yang lepas antara perkara yang sering dihujani dalam Dewan yang mulia ini sekarang isunya JSEZ tetapi dahulu ianya adalah berkaitan dengan PIPC, Pengerang Integrated Petroleum Complex. Sekarang rata-ratanya ramai yang tidak bertanya apa yang berlaku di Pengerang tetapi hari ini saya ingin hendak tahu. Di mana agensi seperti JPDC, Johor Petroleum Development Corporation telah pun dipertanggungjawabkan dalam konteks PIPC ini di mana PIPC Development Master Plan 2013 – 2037 telah pun ada dan saya percaya 2024 ini kita berada di fasa kedua dalam Master Plan tersebut. Di mana Pengerang ataupun PIPC ini sepatutnya menjadi dengan izin, World Class Integrated Hub For Oil And Gas. Jadi dalam konteks itu apakah sebenarnya yang berlaku di Pengerang ataupun PIPC pada hari ini? Adakah semuanya telah pun dirancang berjalan seperti yang diharapkan? Dan apakah pelaburan baharu dan jumlah pelaburan baharu yang mula masuk ke Pengerang ini menerusi PIPC? Kerana mengikut perancangan kerajaan pada tahun 2037 total investment ataupun pelaburan sepenuhnya di PIPC ialah sebenarnya RM330.6 bilion. Jadi dalam fasa kedua sekarang ini, berapakah sebenarnya jumlah pelaburan yang telah pun masuk menerusi PIPC di Pengerang? Dan juga semua peruntukan tanah yang telah diperuntukkan untuk projek ini adakah telah pun digunakan sepenuhnya? Dan berapakah peluang pekerjaan yang telah pun di created di Pengerang dan adakah peluang-peluang pekerjaan ini telah pun diambil oleh anak-anak tempatan ataupun mereka yang mempunyai kemahiran daripada negeri-negeri lain ataupun daripada negara lain?
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu berkaitan dengan traffic jammed, trafik di khususnya di daerah Johor Bahru ini bukan sahaja merunsingkan warga JB tetapi warga Johor apabila kita hendak memasuki ke daerah Johor Bahru memang kita akan setiap hari berdepan dengan laluan trafik yang begitu dikatakan ada setiap hari.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin tahu apakah sebenarnya ataupun sama ada projek RTS kini berjalan mengikut jadual di mana ianya diwar-warkan akan memberi impak yang besar, memberi kemudahan kepada warga Johor dan juga difahamkan dahulu kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan LRT sistem di negeri Johor khususnya di kawasan daerah Johor Bahru. Tetapi baharu-baharu ini saya terbaca pula bahawa kerajaan negeri juga mempertimbangkan satu lagi sistem iaitu di panggil Automated Rapid Transit atau Autonomous Rapid Transit System di mana ianya dikatakan jauh lebih murah dan kajian dan proposal telah pun dihantar ke kerajaan pusat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang menjadi tanda tanya di sini ialah kita tidak boleh selalu flip flop walaupun memang betul kita kena membuat kajian secara mendalam, kita kena memperkenalkan the best system untuk negeri kita, tetapi time is of the essence dengan izin, kita tidak boleh terlalu lewat dalam memperimplementasikan dan menjalankan projek-projek yang mengurangkan sistem laluan trafik di daerah Johor Bahru ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di selatan Johor khususnya di kawasan Iskandar Malaysia juga kita ada Iskandar Malaysia Bus Rapid System. Jadi apakah keberkesanan sistem ini? Sama ada ia berjaya mengurangkan impak laluan trafik dan juga ianya memberi impak yang positif khususnya kepada masyarakat atau pun warga di daerah Johor Bahru. Yang Berhormat Datuk Speaker, rata-ratanya pada hari ini isu kesihatan menjadi isu yang paling dekat dengan hati rakyat. Kos rawatan kesihatan semakin meningkat. Dalam konteks negeri maju, kita juga kena pastikan rakyatnya juga sihat. Tetapi pada hari ini, kalau kita tengok memang betul Jabatan Kesihatan Negeri Johor banyak menjalankan program-program, menjalankan kempen-kempen di peringkat negeri dan sebagainya tetapi saya juga mohon agar projek dan juga kempen-kempen kesihatan ini dijalankan di peringkat akar umbi di ladang, di estet, di kampung dan sebagainya supaya isu-isu kesihatan dan juga rakyat mendapat maklumbalas atau pun impak daripada apa yang berlaku dalam konteks rawatan dan kesihatan dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita bersyukur bahawa khususnya di negeri Johor mereka yang beragama Islam apabila mereka mendapat rawatan dialisis dan juga untuk membuat tapak fistula ini, mereka mendapat bantuan daripada Baitulmal. Bagi warga kerja pula, ramai yang dibantu menerusi PERKESO dan juga dalam konteks dialisis ini ramai juga yang mendapat bantuan daripada NGO-NGO. Kita ucap terima kasih kepada semua. Tetapi masih lagi ramai masyarakat khususnya daripada masyarakat India dan juga kaum Tiong Hua, khususnya yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, mereka terpaksa mencari dana sendiri. Bukan sahaja untuk tapak tetapi juga untuk rawatan dialisis. Bukannya sekali sebulan tetapi tiga kali dalam seminggu mengambil kos yang begitu tinggi dengan semua kos dan sebagainya hampir RM2,000.00 ataupun mungkin lebih setiap bulan. Jadi saya merayu kepada kerajaan negeri kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beliau adalah seorang pemimpin yang cukup prihatin, tolong lihat kepada perkara ini kalau boleh mereka yang tidak mempunyai kemampuan khususnya kes-kes dialisis di kalangan masyarakat India dan juga kaum Tiong Hua ini yang tidak mempunyai sokongan daripada pihak-pihak yang tertentu juga dibantu untuk kos rawatan mereka ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi yang saya ingin bawa ialah kita sebagai Wakil-Wakil Rakyat, antara perkara yang memang dekat dengan hati Wakil Rakyat dan juga dengan hati rakyat ialah kita turun padang berjumpa dengan mereka yang kurang sihat di kawasan masing-masing. Kalau kita lawat ke setiap pusat khidmat hampir semua Wakil Rakyat di pusat khidmat kita ini memang dah ada stok katil kesihatan, dah ada stok wheel chair, dah ada stok pampers, susu dan juga alat-alat kesihatan yang lain. Betul ataupun tidak? Memang dah ada kerana ini adalah perkara-perkara yang begitu relevan, begitu penting, hampir setiap hari kita mendapat panggilan mereka rakyat di kawasan kita memerlukan bantuan pampers, bantuan wheel chair, bantuan katil, susu ada juga memerlukan bantuan untuk perjalanan ke hospital. Kalau daripada Kahang nak ke Hospital Kluang tak apa, rawatan di HSI, rawatan di HSA, ada yang dihantar kes rawatan ke Sungai Buloh, ke Hospital Serdang dan sebagainya.
Jadi mereka berjumpa dengan Wakil Rakyat meminta sokongan dan bantuan, jadi saya memohon keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar tolonglah beri peruntukan tambahan kepada Wakil-Wakil Rakyat. (Dewan bertepuk). Untuk memberi bantuan kesihatan. Ini adalah satu kerja yang begitu murni dan suci. Kita nak membantu orang yang susah ni, jadi saya berharap apa yang saya cadangkan di Dewan yang mulia ini akan dipertimbangkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membawa beberapa isu yang berkaitan dengan sekolah-sekolah Tamil di negeri Johor iaitu antaranya ialah Sekolah SJK(T) Pamol di kawasan Kluang, Parlimen Sembrong, di mana sekolah ini kini berada dalam satu keadaan yang daif, tidak lagi selamat digunakan, terpaksa tumpang di sebuah lagi sekolah SJKC di Kampung Gajah di mana 2 sekolah, sekolah Cina, sekolah Tamil terpaksa menggunakan bangunan yang sama tetapi sekolah ini ialah sebuah sekolah kerajaan, sudah ada tapaknya sendiri. Saya juga telah berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar memohon supaya peruntukan kerajaan negeri menyokong kepada kerajaan pusat supaya peruntukan pembinaan sekolah Tamil baru SJK(T) Pamol disegerakan di kawasan Kluang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekolah-sekolah lain seperti sekolah SJK(T) Mados, di kawasan Tiram, sekolah SJK(T) Ladang Sembrong, di Simpang Renggam, kawasan-kawasan tapak baru telah pun dikenal pasti kerana sekolah-sekolah ini kini kekurangan murid. Kita nak pindahkan lesen ke kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Permohonan tanah telah pun dibuat, mohon disegerakan. Sekolah lain seperti SJK(T) Bukit Benut, tapak yang telah diberi dahulu tidak sesuai mohon permohonan telah dibuat untuk pemindahan tapak yang baru masih lagi belum diselesaikan. Yang Berhormat Datuk Speaker, begitu juga beberapa sekolah yang berkaitan dengan PBT di mana kerajaan bersetuju untuk acquire tapak baru seperti SJK(T) Ladang Lambak, SJK(T) Ladang Elias.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang seterusnya ialah berkaitan dengan kontraktor kecil masyarakat India di mana pihak persatuan memaklumkan bahawa mereka telah pun berjumpa dengan JCCD iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam konteks, konsensi peluang-peluang pekerjaan dan berjumpa dengan EXCO Kerja Raya dan berjumpa dengan wakil daripada Pejabat Menteri Besar dan sebagainya. Saya juga telah bawa isu ini beberapa kali di sidang Dewan ini, tetapi saya masih lagi dimaklumkan peluang pekerjaan kepada kontraktor-kontraktor kecil India bukan tak ada, ada tetapi dahulu dianya adalah anggaran 10% daripada keseluruhan kontrak yang diberikan di negeri Johor, tetapi pada hari ini jauh berkurangan atau kadang-kadang langsung tidak ada.
Kita dah ada precedence bahawa peluang-peluang ini diberi sejak tahun 2015, kerajaan negeri memberi bantuan atau pun memberi sokongan kepada kontraktor-kontraktor kecil India. Jadi saya harap apa yang telah ada dahulu sebagai precedence akan terus disambung semula oleh kerajaan negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengundurkan diri saya ada beberapa isu berkaitan dengan kawasan saya. Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan pembangunan perumahan generasi ke 2 FELDA di kawasan saya iaitu FELDA Ulu Belitong, FELDA Ulu Pengeli, FELDA Ulu Dengar, FELDA Bukit Tongkat. Permohonan perumahan generasi ke 2 ini telah pun dimajukan kepada Pejabat Tanah Daerah Kluang dan juga agensi yang berkaitan disokong oleh Wilayah Segamat, tetapi isu ini telah pun saya bawa dalam sidang yang lepas belum lagi mendapat respon, jadi saya nak tahu apakah status terkini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga memohon agar pengangkutan awam iaitu bas percuma daripada Bandar Kluang sehingga ke FELDA Ulu Pengeli melalui Taman Sri Lambak, melalui Ladang Tabung Haji, melalui Ladang Sindora, melalui FELDA Ulu Belitong, melalui FELDA Bukit Tongkat dan seterusnya ke FELDA Ulu Pengeli diadakan kerana ia akan membantu ramai masyarakat di sepanjang perjalanan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga memohon perkara baru naik taraf jalan persekutuan daripada Kluang ke Mersing. Jangan hanya memberi fokus kepada Batu Pahat hingga Ayer Hitam sahaja. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga pernah bawa isu ini bahawa di simpang-simpang perkampungan di simpang FELDA jalan nak keluar masuk ini, lampu jalan di sekitar di kawasan simpang-simpang ini mestilah terang, mestilah ditambah dan sebagainya. Saya berharap isu ini akan diteliti semula khususnya di Kampung Sri Lukut, Kampung Batu 24 India, Kampung Contoh Kahang dan juga di semua Rancangan FELDA di DUN Kahang. Yang Berhormat Datuk Speaker, begitu juga kawasan rumah kediaman Taman Sri Lambak status 99 tahun mohon ditukar kepada hak milik kekal.
Akhir sekali Yang Berhormat Speaker, kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Saya bukan nak menyindir EXCO, saya bukan nak menyindir Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tetapi yang saya nak bawa di sini ialah isu bekalan air bersih Kampung Orang Asli Sedohor. Agensi yang berkaitan isu ini 2 PRU, 1 PRN masih tak selesai. Jadi apa yang perlu saya perlukan lakukan sekarang, setiap kali ada saja saya juga dah beritahu dengan Pegawai Daerah Kluang, bahawa di daerah Kluang isu infrastruktur yang harus diberi top priority ialah isu ini dan Tuan DO setuju kerana beliaulah DO yang keempat. Sepanjang projek ini dijalankan setiap kali ada saja alasan, konsultannya dengan reka bentuk tak sesuai, PBT nya tak sesuai, pelannya tak sesuai, setiap kali ada saja alasan ini diberikan.
Saya berharap pihak dan agensi yang berkaitan tolong tampil memberi jawapan yang tepat, jangan sekali-kala memberi alasan yang remeh, jangan tipu rakyat. Akhirnya yang menjadi penipu bukan agensi kerajaan, Wakil Rakyat. Kita berjumpa dengan rakyat kita memaklumkan jangan risau, projek ini akan jalan, projek ini akan diselesaikan, bajet sudah ada, tetapi PRU
1 berakhir, PRU 2 berakhir, PRN dah berakhir, dah pertengahan penggal seterusnya. Bagaimana kita nak berhadapan dengan penduduk semula?
Baiklah Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berharap isu ini harus diberi kepentingan dan priority oleh kerajaan negeri selesaikan ini adalah isu bekalan air bersih. Dia bukan minta twin tower ke kompleks ke, apa-apa, basic need Johor Maju tapi tak ada air bersih. Bagaimana Malaysia Madani tak ada air bersih dan buat air pun susah ke. Kalau bekalan air tak boleh, bekalan eletrik tak boleh dan sebagainya adakah ini kerana luar bandar, adakah ini satu perkampungan Orang Asli punya pasal perkara ini diremehkan.
Kalaulah perkara ini berada di Special Economic Zone apakah nasib projek ini sama sampai 10 tahun tidak mungkin dah selesai lama, kerana kawasan luar bandar kerana Orang Asli. Saya bukan nak membangkitkan isu-isu seperti ini tetapi inilah hakikat, hasrat di hati mengunung tinggi Yang Berhormat Speaker, supaya bekalan air bersih menjadi realiti tetapi apa yang kita dapat hanyalah kekecewaan disulami penderitaan, kerana air bersih masih lagi belum milik rakyat tetapi hanyalah milik mimpi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bukan ingin bermadah di Dewan yang mulia ini kerana saya sedar selawat dan madah istana takkan sudah, tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker pihak yang bertanggungjawab berpijaklah di bumi yang nyata, jangan terapung di awang-awang. Kita tidak boleh bersabar lagi.Yang Berhormat Datuk Speaker dalam sidang ini saya mohon jasa baik EXCO berilah penjelasan atau pun jalan penyelesaian untuk isu ini. Sekiranya tidak ada penyelesaian, saya pun tidak tahu memang saya tak nak bawa isu ini lagi ke sidang Dewan, tak guna kita adakan sidang Dewan.
Dan inilah platform untuk kita selesaikan isu, platform untuk menyelesaikan masalah tetapi apa yang dibangkitkan hanya mendapat soalan atau pun jawapan akademik sahaja. Kita akan lihat, kita akan pantau, kita akan tengok, kita akan kaji, saya rasa kita tak payahlah bawa isu-isu kawasan di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya minta maaf sekiranya ada emotional sikit tetapi cuba berdepan dalam situasi yang sama berhadapan dengan rakyat, ini adalah kehendak rakyat, masalah rakyat yang saya bawa bukan masalah peribadi saya. This is the people’s problem, we are the people’s representative. Mereka mengharapkan kita, mereka mengharapkan kita, mereka dengar cakap kita, mereka menyokong kita, apabila kita kata sabar, mereka sabar, apabila kita kata memang akan selesaikan, tetapi ada pihak yang boleh membuat keputusan yang sepatutnya selesaikan masih lagi tidak nak mengambil tindakan yang proaktif. Apakah daya, apakah akan terjadi kepada kita sebagai Wakil-Wakil Rakyat?
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi saya mohon mengucap terima kasih di atas kesempatan yang diberi kepada saya dan saya mohon menyokong. Sekian terima kasih.
Tahniah Kahang, Speaker pun takut nak suruh berhenti. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Salam sejahtera, salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita berada di hari kedua Perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri ini. Alhamdulillah saya ingin dengan sukacitanya ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 19 orang daripada DUN Kawasan Tenang. (Dewan bertepuk).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di hadapan monitor di hadapan Ahli-Ahli Yang Berhormat terpapar timer ataupun masa yang ditunjukkan. Saya yakin dan percaya bahawa Ahi-Ahli Yang Berhormat akan dapat menguruskan masa dengan cara yang terbaik. Gunakanlah masa yang ada, masa Yang Berhormat dengan sebaik mungkin dan seboleh-bolehnya kita tidak sampai mengambil masa hak orang lain.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Ahli Yang Berhormat Bekok dijemput.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang mulia, awal bicara ini saya Bekok merafak sembah, menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah atas perlantikan Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor bagi meneruskan ucapan menyokong titah pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15. Terlebih dahulu Bekok mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan sidang Dewan Negeri Johor pada kali ini.
Bekok amat bersetuju dengan titah perasmian pembukaan sidang Dewan Negeri Johor Ke-15 yang lalu yang menyentuh pelbagai aspek untuk memastikan negeri Johor terus melangkah menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, dari aspek kesejahteraan serta pembangunan ekonomi rakyat Johor, kualiti pendidikan ke arah membentuk rakyat Johor yang berkualiti, melahirkan inisiatif-inisiatif baru untuk golongan belia menghadapi cabaran hidup di masa hadapan. Hasrat untuk rakyat Johor mendapat kemudahan kesihatan yang terbaik, khidmat ADUN Johor dan penjawat awam harus dipertingkatkan dan pencapaian nilai pelaburan negeri Johor yang amat memberangsangkan bernilai sekitar RM113.7 bilion. Aspek-aspek yang digariskan oleh Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor dalam titah ucapan perasmian adalah elemen yang sangat penting untuk membawa negeri Johor menjadi sebuah negeri yang maju pada masa akan datang.
Bekok dengan ini ingin merafak sembah ucapan terima kasih kepada Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor kerana Tunku dapat merasakan kesempitan hidup dirasai oleh rakyat Johor sekarang. Bekok mendapati kini di mana-mana juga kedengaran cerita mengenai keluhan hidup daripada rakyat tentang harga barang yang semuanya makin naik, terutamanya golongan B40 dan tidak kurang juga golongan M40 yang sudah mula merasai tekanan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini. Kenaikan mendadak harga barang telah memberi kesan yang begitu besar buat semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa sehingga rakyat akar umbi sering mengadu tentang harga barang yang naik dan terus naik seolah-olah tanpa sebarang kawalan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Bekok ingin menarik perhatian kerajaan negeri Johor untuk sama-sama kita berusaha meyakinkan rakyat negeri Johor bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang kini sangat-sangat menghimpit kehidupan rakyat di dalam negeri Johor. Satu keadaan yang Bekok perhatikan sejak kebelakangan ini, ia skop barangan dan perkhidmatan di bawah SST yang semakin bertambah dan diperluaskan telah menyebabkan rakyat semakin tersempit dengan kenaikan harga barang. Dalam Laporan Tinjauan Fiskal Tahun 2024 yang diterbit oleh Kementerian Kewangan, satu perbandingan antara sistem SST dan GST telah dibuat dan kesimpulan laporan rasmi kerajaan ini telah memperlihatkan GST jauh lebih efektif dan berkesan daripada SST. Antara satu perbandingan yang diutarakan ianya kesan berganda akan terjadi di bawah SST kerana barangan boleh dikenakan cukai dua kali. Kesan berganda SST ini adalah antara satu punca kenaikan harga barang yang dirasai oleh rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Justeru, Bekok ingin merayu kepada kerajaan persekutuan
harus meneliti dan semak semula perlaksanaan SST berbanding dengan GST demi kebaikan rakyat dan pembangunan negara.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Selain daripada kenaikan harga barang keperluan, kos utiliti yang kita gunakan seharian seperti elektrik dan air juga secara tidak langsung meningkatkan kos sara hidup rakyat Johor, termasuk golongan M40 apatah lagi kelompok B40. Oleh yang demikian, Bekok mengharapkan kerajaan negeri Johor dapat mengambil berat serta inisiatif bagi membantu mengekang isu kenaikan segala harga barang dan perkhidmatan yang dilihat semakin membebankan rakyat negeri Johor. Antara kos utiliti yang harus diteliti ialah peningkatan tarif air walaupun dilihat kecil secara berasingan tetapi impaknya besar dan luas termasuk kesan berganda akibat kenaikan harga air juga harus diambil kira. Peningkatan kadar tarif air juga akan menyumbang kepada kenaikan inflasi dan menambahkan beban kewangan isi rumah yang sudah pun terbeban.
Bekok juga ingin menarik perhatian sidang Dewan tentang isu kadar tarif air ini di mana negeri Johor walaupun kaya dengan sumber air mentah, namun kalau tarif air terawat di dalam negeri Johor adalah amat tinggi jika berbanding dengan 3 negeri lain yang mempunyai sumber air yang agak kurang berbanding negeri Johor, kita yang permai ini, di sini Bekok memohon untuk membuat perbandingan kadar tarif air terawat dengan negeri Selangor, negeri Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Di negeri Johor, kadar minimum perkhidmatan bekalan air kita ialah RM10.50, di negeri Selangor ialah RM6.50, negeri Pulau Pinang RM5.50 dan Negeri Sembilan RM7.10. Kalau permulaan air negeri Johor dari 0 meter padu hingga 20 meter padu ialah RM1.05, negeri Selangor RM0.65, negeri Pulau Pinang RM0.55 sahaja, Negeri Sembilan RM0.71 dan 21 meter padu hingga 30 meter padu negeri Johor ialah RM2.35, negeri Selangor RM1.32, negeri Pulau Pinang RM1.10, Negeri Sembilan RM1.09 sahaja. Dan, dari 35 meter padu ke atas, negeri Johor ialah RM3.15, negeri Selangor RM2.63, negeri Pulau Pinang RM2.00 dan Negeri Sembilan RM1.64 sahaja. Ini adalah menunjuk kadar tarif air di negeri Johor adalah antara negeri yang mempunyai kadar tarif air tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan dengan ini, Bekok bagi pihak rakyat Johor memohon kepada kerajaan negeri Johor agar dapat mengkaji semua kadar tarif air terawat di dalam negeri Johor yang kami cintai ini. Di peringkat kerajaan persekutuan juga wajar menilai keperluan setiap negeri dan memperuntukkan dana yang secukupnya untuk membantu kerajaan negeri menggantikan dan memperbaikikan paip air lama bagi mengurangkan pembaziran dan mengurangkan kerugian yang disebabkan NRW (Non-Revenue Water) atau air tidak terhasil. Bekok penuh yakin dan percaya dengan kebijaksana teraju kepimpinan Kerajaan Negeri Johor, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dapat mendengarkan keresahan yang sedang dihadapi oleh kebanyakan rakyat negeri Johor yang berada di dalam kelompok B40 dan M40.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Di kesempatan ini izinkan Bekok membawa beberapa permasalahan rakyat di dalam DUN Bekok untuk mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar.
Pertama, Bekok ingin sampaikan di dalam Dewan yang mulia ini adalah berkaitan masalah gangguan gajah liar di kawasan Kampung Baru Cina, Sungai Karas, Labis. Untuk makluman Dewan yang mulia, pada 6 Mei 2024 gajah liar tersebut telah dikesan, berlegar-legar di jalan utama dari Labis ke Chaah dan pada 8 Mei 2024, gajah tersebut telah memasuki kawasan pertanian dan memusnahkan tanaman kontan, ubi, pisang dan kelapa sawit. Pada tarikh yang sama gajah tersebut cuba untuk menghampiri kawasan perumahan.
Untuk makluman Dewan yang mulia, pihak PERHILITAN Segamat telah hadir memantau pergerakan gajah liar tersebut setelah aduan dibuat pada 8 Mei 2024. Oleh kerana kawasan perkampungan Sungai Karas berhampiran dengan kawasan hutan simpanan, maka
gangguan binatang liar sering berlaku. Bekok berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian terhadap perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan gajah liar mengganggu kehidupan masyarakat dan memusnahkan tanaman-tanaman penduduk di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan, seterusnya perkara yang ingin saya sampaikan di sini adalah permintaan atau desakan rakyat Johor yang tinggal di Jalan Bekok mengenai keperluan untuk memiliki rumah sendiri. Sebagaimana yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker sedia maklum dan ingat bahawa Bekok sebelum ini telah membawa masalah perumbahan SPNB yang telah dibatalkan pembinaannya selepas PRU-14 yang lalu. Sebenarnya, rakyat Johor di DUN Bekok amat mengharapkan untuk memiliki rumah sendiri setelah satu kawasan perumahan mampu milik akan didirikan di sebidang tanah berhampiran dengan Desa Temu Jodoh, Chaah satu ketika dulu. Namun semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, projek perumahan di bawah kelolaan Syarikat SPNB di taman tersebut telah dibatalkan dan harapan rakyat Johor untuk memiliki rumah sendiri musnah. Oleh yang demikian, saya mewakili rakyat Johor di kawasan Bekok memohon dan merayu Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi supaya dapat berunding semula dengan kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk memanjang dan meneruskan projek perumahan yang dibatalkan ini. Bekok penuh yakin dan percaya sekiranya negeri Johor dapat meneruskan projek perumahan tersebut, keyakinan serta sokongan rakyat kepada kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor akan terus meningkat dan ia juga menunjukkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, khususnya Bangsa Johor adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Lagu rakyat lagu asli, nyanyi di bawah pohon keladi, masalah masyarakat Orang Asli, Bekok mohon prihatin diberi. Menara telekomunikasi yang telah dipasang di dua perkampungan Orang Asli di Bekok iaitu Kampung Kemayan dan Kampung Gemilang telah siap berdiri megah. Dengan ini, Bekok bagi pihak masyarakat Orang Asli di dua kawasan perkampungan, Kemayan dan Gemilang merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri Johor dan SKMM negeri Johor yang telah meluluskan pemasangan dua menara di kawasan tersebut. Bekok sendiri telah memantau dan melihat kedua-dua menara itu telah siap dipasang pada Disember pada tahun 2023, tetapi ia masih belum berfungsi. Oleh yang demikian, saya memohon kepada kerajaan negeri Johor dan SKMM negeri Johor supaya dapat mengambil tindakan yang sewajarnya agar projek yang dibuat atas kemurahan rakyat dapat dilaksanakan dengan segera dan seterusnya membawa manfaat kepada masyarakat setempat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Spekaer dan sidang Dewan yang mulia, masih berkisar dengan permasalahan yang membelenggu masyarakat Orang Asli di kawasan Bekok mengenai Projek Bantuan Rumah Orang Asli (PPROA). Saya telah difahamkan oleh Pejabat JAKOA Daerah Segamat, yang menyatakan bahawa dalam tahun 2024 kerajaan negeri Johor telah melaksanakan program PPROA sejumlah 7 unit untuk membina rumah baharu dan 32 unit untuk membaik pulih rumah untuk seluruh Johor. Dan bagi daerah Segamat pula, pada tahun 2024 telah meluluskan 1 unit pembinaan rumah baharu dan 2 unit untuk membaik pulih rumah di kawasan DUN Bekok serta 1 unit lagi di kawasan DUN Tenang. Saya selaku DUN Bekok terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor dan JAKOA negeri Johor atas pelaksanaan PPROA tersebut. Apa yang menjadi persoalan dan harapan masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan saya adalah permohonan mereka yang layak untuk mendapatkan bantuan PPROA di kalangan masyarakat Orang Asli sekarang ini seramai 69 orang di kawasan DUN Bekok. Apakah perancangan kerajaan negeri Johor untuk memastikan kebijakan dan keperluan untuk duduk di rumah yang lebih selesa bagi masyarakat Orang Asli di kawasan saya dapat dilaksanakan. Bekok mohon sangat perhatian daripada kerajaan negeri Johor mengenai permasalahan ini .
Seterusnya membuang sampah di tapak pelupusan sampah di kawasan Majlis Daerah Labis. Isu ini sebenarnya Bekok telah bangkitkan dalam sidang Dewan sebelum ini. Namun begitu, sampah sarap dari luar kawasan majlis daerah masih bertali arus masuk ke kawasan Labis untuk dilupuskan. Longgokan sampah dari luar menyebabkan kawasan pelupusan sampah di Labis semakin sesak dan memberi kesan negatif kepada persekitaran. Di sini Bekok sekali lagi ingin bertanya kepada kerajaan negeri Johor, bilakah masalah ini dapat diatasi serta pendekatannya dan bilakah pusat pelupusan sampah di Bukit Payong, Batu Pahat akan beroperasi?
Dan akhir sekali isu yang ingin Bekok bangkitkan ialah masalah tanah runtuh di Sekolah Menengah Bekok. Isu ini juga telah Bekok panjangkan kepada pihak yang berkaitan. Untuk makluman sidang Dewan yang dimuliakan, perkara ini semakin serius dan sekiranya tidak diatasi segera akan membahayakan keselamatan pelajar dan tenaga pengajar di sekolah tersebut. Bekok memohon perhatian serius daripada EXCO Pendidikan Negeri Johor agar tindakan yang sewajarkan dapat diambil dengan segera. Bengkak kaki lama berdiri, rebak meliar di musim dukong, sebelum Bekok undur diri, dengan ini, Bekok memohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bekok. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Endau.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh, salam, sejahtera dan salam Maju Johor. Pertamanya Endau merafakkan puji dan syukur kepada Allah subhanahu wataala dan selawat serta salam buat junjungan besar kita atas limpah kurnianya serta keberkatannya Endau berada dalam di Dewan yang mulia ini. Terima kasih Endau ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalan sesi perbahasan kali ini. Semoga apa yang Endau bangkitkan oleh Endau pada kali ini mendapat perhatian oleh pentadbiran kerajaan negeri.
Terlebih dahulu Endau merafak sembah menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Duli Yang Amat mulia, Pemangku Sultan Johor atas perkenan merasmikan sidang Dewan pada kali ini. Patik menjungjung segala titah ucapan serta nasihat Tunku agar memastikan kebajikan bangsa Johor khususnya di DUN Endau sentiasa menjadi keutamaan dan tugas sebagai wakil rakyat. Patik serta sekalian rakyat DUN Endau yang patik wakili, mendoakan agar Tunku terus diberikan kesihatan yang baik, dapat menaungi negeri ini terus maju serta berjaya. Ampun tunku.
Dikesempatan ini juga Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi serta Jabatan Kerja Raya negeri Johor kerana banyak jalan di kawasan Endau pada ketika ini telah dan sedang diturap semula. Sudah pasti ianya memberi keselesaan kepada kami pengguna jalan raya dan semoga jalan-jalan lama yang masih belum diturap semula sejak 10 ke 15 tahun dahulu dapat juga diturap.
Seperkara lagi, Endau turut berduka cita dan merakamkan ucapan semoga cepat sembuh kepada dua orang pemain bola sepak negara di atas musibah yang dihadapi mereka. Sebagai seorang yang bergiat aktif juga dalam persatuan sukan, Endau mengecam tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini. Insiden ketiga melibatkan pemain JDT di negeri kita sendiri. Endau ucapkan syabas kepada pihak PDRM khususnya IPK Johor kerana telah meningkatkan lagi keselamatan di negeri Johor ini. Sukan sebenarnya menyatukan bukan perpecahan. Apatah lagi keganasan seperti ini, semoga si pelaku dapat diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal. Endau juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana telah meluluskan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas iaitu
PAWE, pertama dalam kawasan DUN Endau. Dengan tertubuhnya PAWE ini, maka Endau yakin iainya memberi manfaat sepenuhnya kepada warga emas di kawasan DUN Endau untuk terlibat aktiviti rohani dan jasmani di pusat tersebut. Kejayaan PAWE selain dalam mengeratkan hubungan antara ahli telah terbukti berjaya dan semoga warga emas di Johor ini terus kekal aktif dan sihat serta berproduktiviti dalam menguruskan diri. Nanti kalau dah sampai masa wakil rakyat dah pencen atau rasa dah sampai waris warga emas, bolehlah menyertai PAWE di kawasan Yang Berhormat sekalian. Sekali lagi, terima kasih kepada YB Serom.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin utarakan pada kali ini bagi membawa suara hati orang Endau. Pertama, memperkasa keluarga miskin dan miskin tegar. Menjadi harapan semua pemerintah untuk memastikan tidak ada golongan yang tercicir dari arus pembangunan negara. Persaingan untuk memajukan diri dan keluarga semakin sengit dalam dunia yang serba moden pada hari ini. Mereka yang gagal bersaing akhirnya tidak mampu untuk membela diri sendiri serta keluarga. Golongan ini dikenali sebagai keluarga miskin dan miskin tegar. Pihak berkuasa sering kali mengambil jalan pintas dalam usaha menoktahkan isu kemiskinan ini melalui pemberian pelbagai bantuan. Sesuatu yang tidak logik adalah, apabila pihak kerajaan mengambil pendekatan menjumlahkan nilai bantuan yang diberi kepada keluarga tersebut dan menganggap keluarga tersebut terkeluar dari garis kemiskinan apabila nilai jumlah bantuan yang diterima dari pelbagai agensi melepasi had kemiskinan negara. Sebenarnya pendekatan seumpama ini hanya satu pendekatan yang menjurus ke arah membina populariti semata-mata. Hakikatnya keluarga ini tetap miskin dalam konteks yang sebenarnya.
Suatu pendekatan yang lebih konkrit perlu dirancang dan dilaksana kepada semua warga yang berhasrat memajukan diri dan keluarga. Pendekatan yang holistik perlu dilaksana iaitu memajukan keperluan persekolahan, membina bakat dengan lebih terancang, menyediakan peluang belajar dan kerjaya selepas persekolahan bagi anak-anak. Bagi golongan belia pula, perlulah diadakan sesi bimbingan berterusan untuk membina hala tuju masa depan mengikut minat serta bakat mereka. Pengupayaan minat dan bakat bagi golongan belia perlu diperkasakan di peringkat komuniti setempat secara berterusan. Ketua keluarga yang masih mampu bekerja perlu diberi lebih banyak peluang pekerjaan serta aktiviti menambah pendapatan.
Bagi daerah Mersing perlu diwujudkan lebih sektor pekerjaan yang berasaskan sumber persekitaran yang ada, seperti pembangunan tanah pertanian yang disertakan dengan pusat pemprosesan makanan. Dengan itu kita bukan saja dapat melahirkan para usahawan tani bahkan kita mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan di pusat pemprosesan makanan. Sektor rekreasi sangat relevan dengan aktiviti pelancongan yang sedia ada di daerah Mersing. Justeru, perlu diwujudkan lebih banyak pusat rekreasi seperti taman tema air yang dengannya akan mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kecil. Bagi menjayakan semua hasrat ini, pihak kerajaan perlu memberi tumpuan dengan menyediakan pelaburan bagi pembangunan projek rakyat, setidak-tidaknya pihak kerajaan harus bersama-sama dengan pihak swasta untuk menjayakan usaha ini.
Yang Berhormat sekalian, kita ada masa 19 bulan yang diberikan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, untuk pastikan tiada seorang isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas tahun 2025. Ayuhlah kita semua sebagai pemimpin bersatu hati, tolak seketika pegangan politik, bersama-sama berganding bahu menjunjung titah Tunku ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kedua ialah isu Pendidikan, iaitu penyelenggaraan sekolah. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan sidang Dewan sekalian, isu ini merupakan perkara yang diambil perhatian serius oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024 dengan memperuntukkan satu jumlah yang besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyelenggara sekolah-
sekolah daif di seluruh Malaysia. Endau selaku pengerusi alumni SMK Seri Mersing, walaupun sekolah ini bukan di kawasan DUN Endau, tetapi selaku pengerusi alumni, Endau akan membawa perhatian berkaitan masalah kedaifan satu blok kayu yang merupakan blok terawal pembinaan sekolah ini yang dibina pada tahun 1970-an lagi. Blok ini telah mengalami kerosakkan yang teruk terutama di bahagian bumbung dan lantai yang sememangnya membahayakan nyawa murid dan guru yang berada di blok berkenaan. Blok tersebut masih boleh digunakan sebahagiannya kerana pihak sekolah kekurangan bilik darjah untuk memindah murid ke bilik darjah lain. Endau telah dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa laporan kerosakan berkala telah dihantar setiap bulan kepada pihak yang berkenaan, tapi tiada maklum balas setakat ini. Justeru dipohon pihak Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dapat mengambil maklum perkara ini demi keselamatan anak-anak kita dan seluruh warga sekolah. Keprihatinan yang lebih juga perlu diberikan kepada semua sekolah terutamanya daerah Mersing agar infrastruktur sekolah-sekolah di daerah ini tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dan pembangunan negeri dan negara kita. Endau yakin bahawa pihak kerajaan sentiasa prihatin dalam isu-isu berkaitan dengan pendidikan kerana pendidikan merupakan perkara yang sangat penting dalam melahirkan insan yang berkualiti dan negara yang berinspirasi, sesuai dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 yang menyentuh soal meningkatkan kualiti, sistem dan fasiliti pendidikan selain memperbaharui silibus-silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.
Beberapa hari lagi kita akan menyambut perayaan Hari Guru 2024. Maka adalah wajar untuk pihak kerajaan memberikan perhatian yang terbaik, terutama dalam menyediakan infrastruktur yang selesa kepada warga pendidik yang telah berkorban dalam mendidik anak bangsa kita sesuailah dengan tema ‘Guru Jauhari, Digital Aspirasi, Negara Madani’. Kesempatan ini Endau ingin mengucapkan Selamat Hari Guru 2024 kepada seluruh warga pendidik di negeri ini. Terima kasih cikgu, budimu tidak bisa dibalas.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, cukuplah dua isi utama yang Endau utarakan dan bahaskan dengan panjang lebar, bersesuaian dengan titah perasmian tempoh hari. Yang terakhir isu ini Endau akan sentuh secara sekali lalu sahaja.
Pertama adalah mengenai isu anjing liar, Endau berharap pihak Jabatan Veterinar Mersing dan Majlis Daerah Mersing sama-sama dapat atasi masalah ini. Endau juga ambil maklum bahawa sebelum ini pihak Majlis Daerah Mersing pernah membuat operasi penangkapan anjing liar ini menggunakan perangkap haiwan. Alhamdulillah operasi tersebut berhasil dan berjaya menangkap anjing liar yang berkeliaran. Namun kini, isu ini kembali hangat diperkatakan, di pantai bandar Mersing, di kawasan Mersing kanan, di Pantai Air Papan, di pekan Endau, mahu pun kebanyakan tempat telah mula ada kembali anjing-anjing liar. Ada yang dikejar ketika berjoging, ada yang dikejar ketika menaiki motor dan kita kenalah atasi masalah ini. Jangan sampai ada melibatkan nyawa baru kita nak bertindak. Mersing merupakan kawasan pelancongan. Pelancong pun ramai, dulu sudah ada seorang pelancong kena gigit. Ini semuanya menjejaskan imej kita sebenarnya. Jadi Endau mohon pihak Jabatan Veterinar dan Majlis Daerah Mersing sekali lagi buat operasi penangkapan anjing-anjing liar ini.
Yang keduanya adalah berkenaan berkaitan pembangunan kawasan. Endau muhasabah diri bahawa Endau merupakan pengimbang kerajaan. Namun bagi Endau, pembangunan serta perancangan di kawasan Endau perlulah dimaklumkan juga kepada Endau. Kalau tidak, kalau tidak mahu Endau hadir mesyuarat, tidak kisahlah sekurang-kurangnya maklumkanlah hasil mesyuarat atau taklimat pembangunan dalam kawasan Endau kepada Endau. Endau sekali lagi hendak beri kredit kepada Jabatan Kerja Raya Mersing sebab setiap kali projek atau permohonan di bawah jabatan mereka, mereka akan maklumkan kepada Endau. Contohnya baru-baru ini ada peruntukan hendak pasang lampu jalan, pihak JKR Mersing datang dan
jemput Endau dan tanya di mana hendak pasang lampu tersebut, ini baru betul. Endau boleh cadangkan berdasarkan aduan rakyat yang Endau terima. Sebab apa akhirnya jika ada satu, jika ada apa-apa masalah berkaitan suatu perancangan atau pembangunan, rakyat akan cari wakil rakyat dulu. Endau juga hendak ucap terima kasih kepada EXCO-EXCO kerajaan negeri, yang kalau ada lawatan dalam kawasan Endau, ada di antara mereka yang whatsapp sepatah dua memaklumkan kehadiran mereka. Yang tidak whatsapp tak nak bagitahu itu Endau faham, cuma jangan kata Endau sebagai tuan rumah tidak layan tetamu pula.
Satu lagi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Endau harap semua pihak hadam dan junjung titah ucapan perasmian pada kali ini. Jangan kita nak politik sentiasa dalam nak bantu rakyat. Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor telah bertitah untuk semua pihak termasuk NGO, semua sama-sama bantu. Apa yang Endau tidak sedap dengar bila ada agensi yang tolong Endau, bila ada agensi yang bersama Endau, ada agensi yang jemput Endau, ketua agensi tersebut kena amaran. Sampai buat program dengan rakyat pun, ketua jabatan daerah tidak berani nak datang pun. Sebab ada Endau. Endau ini pengimbang kerajaan, sejak bila nak bantu orang ini nak tengok baju politik. Endau ucap terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang masih ada tolong Endau, bantu rakyat walaupun mereka tahu dan ada dikalangan mereka yang dah kena warning dengan izin, tapi kuat semangat demi rakyat dan tugas serta tenggungjawab mereka.
Yang ketiga adalah tentang denda premium pertukaran status tanah. Di kawasan Endau, majoritinya orang kampung. Jadi status tanah masing-masing kebanyakkannya adalah pertanian. Apabila kehadiran pelancong ke daerah Mersing memberangsangkan, kebanyakan tuan rumah terutama yang di tepi-tepi pantai akan membina resort atau chalet. Jadi bila status tanah pertanian ini akan diminta diubah kepada status pelancongan. Bila pertukaran status tanah berlaku, maka mereka akan dikenakan denda premium ubah syarat tanah. Endau ada menulis satu surat sokongan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor berkaitan satu permohonan pengurangan denda premium yang dikenakan kepada seorang pengusaha resort di kawasan DUN Endau. Tinggi dendanya, lagi pun masing-masing masih dalam proses recovering, dengan izin selepas pandemik COVID. Jadi kuasa pengurangan ini di bawah bidang kuasa Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Endau harap dapatlah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar memberi pengurangan sehingga 80% kepada permohonan ubah syarat kali pertama. Jadi inilah cara kerajaan nak bantu pengusaha-pengusaha ini tanpa mereka lari daripada membayar cukai tanah. Kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Yang keempat, berkaitan telekomunikasi. Endau nak ucap terima kasih sebab dalam kawasan Endau, mana kawasan yang tidak ada liputan telefon telah dibina pencawang-pencawang. Cuma Endau dapat rungutan daripada orang kampung, pencawang sudah siap, elektrik sudah masuk, tapi pencawang masih belum beroperasi. Endau harap SKMM boleh semak dan maklumkan kepada Endau bilakah pencawang yang sudah siap itu akan beroperasi sepenuhnya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Endau rasa setakat ini sahaja yang Endau ingin sampaikan di Dewan yang mulia ini. Endau sentiasa menginsafi bahawa setiap pemimpin sentiasa ada kelebihan dan kelemahan. Setiap rebahan yang ada Endau akan terus perjuangkan, membawa suara hati rakyat Endau di Dewan ini. Segala kelemahan yang ada pula akan sentiasa pihak Endau perbaiki dari semasa ke semasa. Mengambil kesempatan ini, Endau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Johor terutamanya Tuan Pegawai Daerah Mersing, Tuan Yang DiPertua Majlis Daerah Mersing, ketua-ketua jabatan di peringkat negeri mahu pun persekutuan yang sentiasa membantu Endau dan penduduk kawasan DUN Endau. Semoga dengan muafakat kita semua sebagai Bangsa Johor negeri ini akan terus makmur dibawah rahmat Allah S.W.T. Akhir kalam, Endau sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker atas
ruang dan peluang berbahas pada kali ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. Endau mohon menyokong.
Waalaikumussalam, terima kasih Yang Berhormat Endau. Dipersilakan Yang Berhormat Permas.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang dimuliakan. Terlebih dahulu saya ingin merafakkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT selepas raya ini kita dapat berjumpa kembali dan masing-masing masih sihat walaupun macam-macam makan berhari raya. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terlebih dahulu Permas merafakkan, merafak sembah junjungan, menjunjung kasih di atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Kami selaku wakil-wakil rakyat juga ingin menjunjung kasih dimana kami diberi pujian oleh Yang Amat Mulia tentang kerja-kerja kami di peringkat akar umbi. Tidak kira kami masa siang atau malam, kami sentiasa bekerja. Alhamdulillah juga Datuk Seri Utama Ir. Hasni perasan bila adakalanya wakil-wakil rakyat duduk di belakang, bila ada satu majlis yang dianjurkan oleh kerajaan. Diharap ia diberi perhatian. Rakyat oleh di kawasan kami bangga apabila melihat wakilnya berada di tempat yang baik. Tapi Alhamdulillah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker di Majlis Bandaraya Pasir Gudang saya sering mendapat undangan dan saya satu didudukkan di meja utama bersebelahan dengan Yang Berhormat Datuk Bandar dan juga saya rasa Yang Berhormat Tiram juga sama-sama bersama saya kebiasaannya, terima kasih banyak. Ada pula wakil ini. Permas menjunjung kasih di atas titah ucapan Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada sidang Dewan yang pertama bagi penggal ketiga, ucapan Yang Amat Mulia memberi kelegaan bagi rakyat jelata kerana ia menyentuh segala persoalan yang biasa bermain di pemikiran mereka, di mana Yang Amat Mulia Tunku menyentuh soal memastikan semua Bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja, ada tempat tinggal, ada pendidikan berkualiti, akses kepada kemudahan asas dan kemudahan kesihatan. Perkara ini biasa dibincangkan atau diperkatakan di mana-mana tempat, termasuklah tidak ketinggalan di kedai-kedai kopi.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak sentuh jugalah soal Johor Lama. Johor Lama dalam perbahasannya menggambarkan betapa bertuahnya beliau mendapat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Parlimen Kota Tinggi dan ternyata banyak perancangan yang sedang dilimpahkan kepada orang Kota Tinggi. Tapi Permas juga bernasib baik kerana walaupun beliau ada rumah baharu, namun beliau sentiasa berlaku adil. Hari bekerja beliau di Kuala Lumpur, hujung minggu di siang hari berada di Kota Tinggi dan bila di waktu malam hari beliau di Pasir Gudang. Cuma Sedili sahaja yang suka provoke. Nak cari gaduhlah tu.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga nak menyentuh soal YB Stulang dan juga YB Perling yang berterima kasih kepada Barisan Nasional kerana sama-sama bantu memenangkan calonnya iaitu saudari Pang Sok Tau daripada parti DAP dan mereka juga menang dengan baik, beliau menang dengan baik dan tahniahlah saya ucapkan. Cuma saya nak beritahulah kepada Pakatan Harapan iaitu UMNO jika berjanji tidak akan mungkir, dan UMNO bila berkata sentiasa akan dikota. Jadi oleh itu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri Johor telah menjana pelaburan sebanyak RM113.7 bilion dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan baharu sejak 2022. Sudah tentu Bangsa Johor bertanya, apa yang mereka dapat daripada pelaburan ini. Oleh yang demikian, titah Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Johor amat tepat. Memastikan Bangsa Johor mempunyai makanan di atas meja mereka. Usaha kerajaan memastikan sifar kemiskinan tegar menjadi agenda yang amat baik dan perlu disokong oleh semua pihak dan usaha ini perlu diteruskan. Untuk memastikan sifar berterusan, sifar kemiskinan tegar berterusan, peluang-peluang pekerjaan perlulah diwujudkan dengan kadar gaji yang lebih tinggi. Di samping itu juga peniaga-peniaga kecil juga perlu diberi perhatian. Terima kasih
kepada Majlis Bandaraya Pasir Gudang sekali lagi dan juga Majlis Bandaraya Johor Bahru yang sentiasa membantu dengan menyediakan pusat-pusat penjaja, memberi peluang kepada peniaga kecil mencari rezeki. Usaha ini juga boleh ditambah baik supaya tempat-tempat ini lebih menarik bagi membantu menarik perhatian pelanggan.
Tempat-tempat tinggal adalah keperluan utama bagi setiap rakyat. Kerajaan hendaklah berusaha dengan kreatif supaya rumah-rumah mampu milik dapat dibina memenuhi keperluan rakyat. Banyak perbincangan, banyakkanlah perbincangan dengan pihak pemaju mencari formula terbaik dan realistik hingga mendapat keputusan ‘menang-menang’ di mana matlamat kedua-dua pihak, kerajaan dan pemaju dapat dicapai. Jika dapat umumkan berapa banyak rumah mampu milik yang akan disiapkan pada tahun ini dan dapat dinyatakan kawasan-kawasan yang terlibat lagi bagus, supaya menjadi panduan kepada setiap Wakil Rakyat untuk diwar-warkan kepada rakyat.
Kesempurnaan jalan raya sentiasa menjadi isu panas di Pasir Gudang. Musim tengkujuh adalah musim yang paling mengerikan, maka wujudlah banyak jalan-jalan yang berlubang di merata tempat hingga ada pepatah pengguna jalan raya mengatakan jika masuk lubang di Pasir Gudang maka akan keluar lubang di Mersing. Itulah pepatah yang biasa dicakapkan. Masalah ini seolah-olah tidak ada penyelesaiannya. Alasan yang diberikan, lori bawa lebih muatan sedangkan kalau kita lihat di negara jiran kita di Singapura, mengapa jalan rayanya sentiasa elok, kenderaan pengangkutannya lebih besar dari lori di Johor.
Lagi satu Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, lampu-lampu jalan. Lampu-lampu jalan yang tidak menyala sekian lama juga menjadi bualan kebanyakan rakyat Pasir Gudang. Tiang lampunya ada tetapi tidak menyala, lampunya pun ada. Takkan nak salah lori kerana bawa barang lebih muatan? Hingga sekarang masih tak ada jawapan kenapa lampu yang rosak tidak dibetulkan. Perkaranya pelik tetapi perkara itu benar. Apa yang dilakukan adalah menggantikan tiang-tiang lama kepada tiang-tiang yang cantik berkerawang dilakukan yang dapat dipandang di siang hari tetapi bila waktu malam, kecantikan tiang-tiang lampu ini tidak dapat dilihat kerana lampunya tidak menyala, gelap gelita. Apa susah sangat soal nak baikinya. Pada saya ini mudah, beli lampu di hardware, guna skylift, buka mentol, pasang balik mentol baru dan ia akan menyala. Tolonglah betulkan masalah ini dengan segera. Saya rasa banyak, lama dah aduan ini dibuat tetapi masih tidak... Di harap YB EXCO dapatlah komenlah sikit, jadi kita sama-samalah dapat dengar dan kita boleh cakap dengan rakyat bahawa ini akan dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan keadaan.
Saya juga sangat bersetuju dengan titah Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor tentang semak semula silibus pembelajaran yang tidak relevan. Hapuskan dan ganti yang baru. Cara mengajar juga perlu diubah agar ia lebih menarik. Penggunaan peranti seperti tablet dan smart tv dah sampai masa dilaksanakan. Negeri Johor berpeluang membuat perubahan kerana ia ada sekolah agama yang dikelolakan oleh kerajaan negeri. Sekurang-kurangnya, jadi apabila perkara ini dilaksanakan kuranglah kita menggunakan buku, maknanya peranti ini akan menggantikan buku-buku yang ada. Tak perlu bawa buku yang banyak. Yang tak mampu adakan skim peranti pinjaman menggantikan buku pinjaman. Jadikan sebuah negeri yang menggunakan AI dalam sistem pembelajarannya di sini. Kemungkinan ia boleh menjadi contoh atau panduan kepada peringkat federal, peringkat persekutuan untuk menjadikan perkara ini realisasikan di peringkat persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, akses kemudahan asas juga menjadi keperluan bagi masyarakat. Lebih-lebih lagi dewan komuniti yang kita tahu bahawa untuk mengadakan majlis perkahwinan selalunya penduduk menggunakan dewan-dewan komuniti ini. Dan ia lebih mudah dan menyenangkan mereka kerana mereka tidaklah kepenatan apabila mereka mengadakan di rumah-rumah masing-masing. Lebih-lebih lagi di taman-taman mempunyai tempat parking ataupun kawasan-kawasan yang boleh meletak kereta terlalu terhad hingga bergaduh-gaduh adalah lebih baik dari ini dapat diperbesarkan, diperbanyakkan. Mohon juga
supaya kerajaan jangan sesekali menswastakan dewan komuniti kerana sudah pasti harganya akan meningkat hingga lebih daripada pasaran atau sama dengan pasaran. Berilah peluang kepada penduduk mentadbir. Kerajaan sendiri atau yang lebih baik jika diberi peluang kepada penduduk bagi dewan-dewan serbaguna sama ada kerajaan sendiri yang mentadbir ataupun berilah peluang kepada penduduk untuk mentadbir.
Soal kemudahan kesihatan, saya amat bersyukur kerana Hospital Pasir Gudang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan sebanyak 304 katil. Kalau dulu semasa kami memerintah Barisan Nasional, dululah, takpelah kita tengok sejarah semula, apabila kita meminta hospital itu dilaksanakan, peruntukannya adalah sebanyak RM500 juta dan katilnya adalah sebanyak 500 buah katil. Tetapi apabila kalahnya dan dipolitikkannya, akhirnya kita dapat kurang ketika itu. Dan, akhirnya kita mendapat RM300 lebih juta dan katilnya sebanyak 304 juta. Jadi, itulah satu perkara yang kita mesti menjadikan tauladan jika perkara itu dipolitikkan yang seperti yang dinyatakan oleh Endau, maka kekurangan atau keburukannya akan diterima oleh kita semua.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu air tak sudah-sudah. Saya pun tak naklah cakap kuat-kuat. Tadi pun Iskandar Puteri dia provoke supaya cakap kuat-kuat macam Kahang. Tapi saya tak naklah. Sama je. Paip lama masih tidak ganti. Banyak paip-paip air telah berusia lebih 30 tahun. Jika ditinggikan tekanan paip maka pecahlah paip yang lain. Tekanan air ditinggikan maka pecahlah paip dan semua rumah tak ada air. Dan jika direndahkan tekanan air, tekanan airnya kecil atau tak sampai ke rumah. Waktu pagi juga penduduk telefon, YB air tak de. Itu biasa saya jumpa. Sampai bila perkara ini berlaku? Dan, apabila kadang-kadang kala waktu malam pun mereka telefon juga bahawa tak ada nak ambil air sembahyang. Air tak sampai ke tingkat 4, 3 dan 4. Itu menjadi masalah yang sangat meruncing saya rasa.
Saya ingin mengesyorkan bahawa kerajaan negeri campur tanganlah dengan syarikat-syarikat terlibat. Boleh buat ke tak boleh buat? Ada duit ke tak de duit? Kalau tak de duit kerajaan negeri tambah. Kalau rasa memang dah tak boleh kerajaan negeri ambil balik syarikat tersebut, kerajaan negeri boleh kelolakan. Dan saya rasa kalau kerajaan negeri ambil alih tarifnya pun rendah seperti yang dinyatakan oleh Kahang tadi, Kahang, bukan Bekok. Dia menyatakan tarif-tarif air di seluruh negeri. Jadi, itulah antara perkara yang sangat-sangat kami perlukan jawapannya supaya ia tidak menjadi masalah.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, haraplah supaya EXCO dapat komenlah sikit apa agaknya penyelesaian yang ada. Air ni ada 2 perkara. Satu, tak cukup air di damp ataupun tadahan air. Yang kedua, paip-paip lama. Yang lepas pun paip tempat saya pun pecah menjadi satu bala pula di situ untuk saya mengerjakannya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya berasa gembira apabila kerajaan negeri dan persekutuan telah merancang membangunkan ekonomi negeri Johor secara berstrategik. Oleh kerana Johor berdekatan dengan Singapura, ia menjadi peluang terbaik, menjadikan negeri Johor sebagai destinasi terbaik bagi pelabur-pelabur luar negara. Oleh yang demikian, hubungan antara kerajaan Johor dan Singapura perlu lebih dipereratkan lagi agar Johor tidak terlepas peluang dengan perkembangan ekonomi serantau. Mungkin juga negara jiran Singapura memerlukan Johor bagi mengembangkan ekonomi mereka kerana kawasan mereka yang sering berkurangan. Kalau kita lihat di mana-mana mereka pun cuba menambak laut dan sebagainya, tandanya mereka tak ada kawasan. Jadi Johor adalah tempat yang sangat baik bagi mereka untuk memindahkan industri mereka atau sebagainya di sini.
Jadi, justeru perlaksanaan Zon Ekonomi Khas atau SEZ dan Zon Kewangan Khas atau SFZ perlu disokong oleh Bangsa Johor. Jangan leka dan lalai, bangsa Johor khususnya usahawan tak kira bangsa menunggu-nunggu Johor apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor bagi
merancakkan aktiviti ekonomi. Perniagaan mereka yang masih lesu sangat mengharapkan kerajaan membuat sesuatu untuk membantu mereka.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, baru-baru ini saya buat lawatan ke syarikat PESTIMA atas undangan mereka. Syarikat ini dikuasai oleh rakyat Jepun. Jumlah pekerja seramai 260 orang dan 90% terdiri dari orang tempatan. Walaupun saya hanya Wakil Rakyat biasa tetapi mereka amat gembira dengan kehadiran saya. Kelegaan dapat dirasai apabila dapat berkongsi masalah berbagai inovasi dilakukan bagi memastikan mereka terus bertahan berada di Pasir Gudang. Antara inovasi yang mereka buat adalah menukar tenaga dari menggunakan gas asli kepada gas bio. Di mana mereka menggunakan gas yang dikeluarkan oleh kilang-kilang memproses kelapa sawit iaitu gas-gas buangan, waste, dengan izin untuk menggerakkan turbin mereka. Dijangkakan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan stesen gas bio di kawasan kilangnya akan siap dan boleh digunakan. Saya menyatakan kepada mereka, saya akan maklumkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tentang usaha ini. Saya amat berharap agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dapat meluangkan sedikit masa untuk hadir dan merasmikan stesen bio gas mereka. Mungkin penggunaan bio gas ini boleh dilebarkan ke kilang-kilang lain di negeri Johor untuk kebaikan alam sekitar ke arah karbon sifar. Carilah seberapa banyak pelabur, namun pelabur yang sedia ada perlu juga perhatian dan pandangan daripada kerajaan. Jangan sampai yang dikejar tak dapat dan yang dikendong keciciran.
Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dari Permas ke Kota Tinggi, singgah sebentar di Johor Jaya, titah Tuanku disanjung tinggi, laksanakanlah hingga berjaya. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Permas, Persidangan ditangguhkan selama 15 minit.
Persidangan ditangguhkan pada jam 3.40 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 3.50 petang.
Pada masa yang sama saya ingin mengalu-alukan pemerhati seramai 21 orang daripada ADUN Kawasan Pemanis. Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker…
Ya.
Saya ingin mencelah. Peraturan Tetap Bilangan 4. Saya mohon penjelasan.
Perkara?
Peraturan Tetap Bilangan 4.
Apa masalahnya?
Ok. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Datuk Speaker, penggunaan istilah Timbalan Speaker, kalau dalam
Peraturan Tetap Bilangan 4, Speaker dan juga Pengerusi yang mempengerusikan sidang Dewan Negeri, terima kasih.
Perkara ini adalah perkara panggilan Timbalan dan Speaker, maksudnya? Tentang panggilan atau apa?
Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau ikut Peraturan Tetap Bilangan 4, tiada panggilan Timbalan Speaker, Speaker ataupun Pengerusi untuk Persidangan Dewan Negeri.
Terima kasih Sri Medan kerana mengingatkan. Sebenarnya memang benar, tidak ada panggilan Timbalan Speaker, panggilan adalah Speaker. Terima kasih kerana mengingatkan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Sri Medan. Saya mohon masa kecederaan Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab kita baru 2 minit.
Dibenarkan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Patik menjunjung kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor yang Ke-15, patik dengan penuh takzim memohon untuk membahaskan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku di dalam Dewan Negeri yang mulia ini. Allah Selamatkan Sultan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan titah Diraja kali ini, saya berbesar hati, sekali lagi menyampaikan amanah daripada penduduk Puteri Wangsa untuk melihat negeri Johor ini makmur untuk sekalian isinya. Sudah tentu cabaran untuk menguruskan hasil bumi di Johor ini dan kerja keras rakyat Johor bukan satu usaha yang mudah. Saya fikir cabaran kita makin besar kerana cita-cita dan impian kita juga semakin tinggi. Dalam merealisasikan Visi Johor Maju 2030, kita mahu bergerak ke hadapan tapi pada masa yang sama kita perlu pastikan tidak ada yang tercicir dan tertinggal di belakang. Sudah tentu tumpuan utama Johor untuk tempoh satu dekad akan datang adalah Johor-Singapore Special Economic Zone ataupun JS-SEZ. Cuma saya mahu mengubah pendapat banyak pihak di luar sana bahawa ini adalah projek 2 buah negara. JS-SEZ berpotensi untuk menjadi satu tumpuan akses pelaburan ke seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Maka, pandangan kita harus dibuka seluas-luasnya dan imaginasi kita dalam menguruskan ekonomi harus benar-benar terbuka.
Saya percaya tahun ini kita akan banyak berbahas soal pembinaan zon ekonomi khas Johor-Singapura. Semalam dan hari ini je, dah banyak soalan-soalan yang ditanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ini adalah signal jelas bahawa zon ekonomi ini ada potensi besar sebagai grand plan negeri Johor, supaya negeri ini semakin kaya, makmur dan maju. Realitinya, kita sedang memasuki satu era baru dalam pembangunan ekonomi negeri Johor. Melalui SEZ dan SFZ misalnya, potensi perkembangan ekonomi Johor akan merancakkan lagi potensi pelaburan asing ke negeri Johor. Dan Johor juga boleh menjadi laluan utama pelaburan Singapura dan negara-negara ASEAN yang lain. Saya pasti antara sebab kerajaan negeri mengambil hala tuju ini adalah untuk meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat negeri Johor dan meningkatkan taraf kehidupan Bangsa Johor. Saya faham bahawa ini semua adalah rencana negeri Johor untuk menjadi kuasa ekonomi di Asia Tenggara. Cuma saya juga mahu mengingatkan agar dalam kita mendongak ke langit kita juga perlu pastikan kaki masih terpasak di bumi. Saya risau jika kita semua hanya berbincang dengan ekonomi makro, hanya bermain pelaburan-pelaburan besar, syarikat-syarikat MNC, kita terlupa dengan perniagaan-perniagaan rakyat Johor kelas sederhana dan rendah.
Lihat saja Kuala Lumpur, Yang Berhormat Datuk Speaker. Bandar rayanya pesat bangunannya tinggi-tinggi bandar tumpuan syarikat asing. Namun hakikatnya tak semuanya indah belaka. Hakikatnya baru-baru ini, UNICEF telah mengeluarkan satu laporan berkenaan kemiskinan bandar di Kuala Lumpur. UNICEF melaporkan bahawa 8 daripada 10 isi rumah bergelut untuk menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan asas hidup. Lebih bimbang apabila dilihat dalam kalangan wanita, kanak-kanak dan warga OKU, statistik ini semakin tinggi. Sehinggakan kanak-kanak berpotensi untuk ada pertumbuhan terbantut akibat kurang makan, dengan satu atau dua kanak-kanak makan kurang daripada 3 kali sehari. Kajian dalam sektor swasta menunjukkan, Malaysia akan mengalami kerugian hampir 320 juta pendapatan sekiranya kita mengalami pertumbuhan yang terbantut. Ini realiti di dalam bandar besar di Kuala Lumpur. Saya bawa hal dan cerita Kuala Lumpur kerana saya mahu ingatkan semua, tatkala kita bekerja keras untuk bina ekonomi negeri Johor, kita tidak boleh tertinggal mereka yang susah, lapar dan sakit.
Saya ambil ruang ini untuk ucap tahniah dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif dapur kasih bagi membantu keluarga miskin tegar dalam negeri. Namun begitu, kerisauan saya, saya pasti sama dikongsi oleh ADUN-ADUN yang lain. Data eKasih yang kita terima tidak mencerminkan situasi yang sebenar-benarnya di lapangan. Ada yang dalam senarai data eKasih sebenarnya tidak layak menerima bantuan dan ada juga lebih ramai lagi yang sepatutnya menerima bantuan tersebut tetapi tidak tersenarai dalam data miskin tegar. Syukur dengan Program Dapur Kasih ini kita dapat beri maklum balas dan membetulkan data ini kepada kerajaan negeri. Namun, satu inisiatif yang lebih meluas perlu dibuat bagi melaksanakan agar semua data ini dapat diperbetulkan. Sukar untuk kita realisasikan hasrat Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor untuk mencapai sifar miskin tegar tahun 2025 sekiranya kita tidak ada data yang telus. Hala tuju pembangunan ekonomi negeri Johor juga perlu holistik. Kita perlu pastikan rakyat dapat merasai potensi pembangunan yang besar dalam negeri kita ini.
Jadi ada beberapa cadangan yang saya mahu usulkan untuk pertimbangan kerajaan negeri Johor. Yang pertama Yang Berhormat Datuk Speaker, adalah untuk menangani isu kanak-kanak terbantut. Kenapa perkara ini penting? Kerana apabila kita sebut negara bantut, ianya bukan sekadar masalah ketinggian semata-mata. Tetapi ianya masalah kognitif yang sangat serius. Laporan daripada World Bank menunjukkan bahawa sekiranya sesebuah negara itu adalah negara bantut, maka akan mendapati kerugian 7% pendapatan per kapita. Ini adalah satu kerugian yang sangat besar. Jadi penting untuk kita pastikan agar anak-anak dalam negeri Johor ini tidak menghadapi masalah terbantut. Kita perlu pastikan mereka mendapat nutrien yang mencukupi. Kalau dahulu ada program sarapan pagi percuma yang diusahakan oleh kerajaan persekutuan, namun tidak diteruskan kerana masalah kos yang terlalu besar. Saya cadangkan Kerajaan Negeri Johor untuk mengkaji semua dan sekiranya kita boleh mulakan semula di Johor terlebih dahulu, kerana pada akhirnya, saya kira kita tidak akan rugi sekiranya kita melabur dalam potensi pekerja-pekerja masa hadapan.
Yang kedua Datuk Speaker, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan pengenalan kuota pekerja Johor dalam setiap projek pembangunan di bawah SEZ dan SFZ. Kuota pekerja Johor ini adalah satu bentuk kuota yang disediakan untuk memastikan dalam apa-apa sahaja projek pembangunan, perniagaan dan pelaburan negeri Johor ini ada penglibatan anak-anak Johor. Sudah tentu kuota pekerja Johor ini tidak menghalang mana-mana syarikat pelaburan untuk masuk. Tetapi sekiranya mereka mengikut kuota pekerja Johor ini, menyambut inisiatif dengan baik, mereka akan diberi beberapa kemudahan seperti cukai fasiliti, diberi keutamaan dalam program dan inisiatif kerajaan serta boleh diberi status platinum investor plan partners, secara contohnya. Ini adalah satu perkara baik untuk semua di negeri Johor. Kalau kerajaan persekutuan boleh wujudkan kuota pekerja asing, mengapa tidak ada hal yang sama untuk pekerja tempatan untuk mengambil rezeki dalam SEZ dan SFZ? Kita tidak mahulah nanti kera di hutan disusukan, anak-anak Johor mati kelaparan.
Saya juga menjunjung titah Pemangku Sultan, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, supaya semua Bangsa Johor mempunyai makanan atas meja mereka dan mendoakan semoga kerja keras membangunkan ekonomi Johor, memanfaatkan Bangsa Johor.
Ketiga Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengusulkan supaya pelan keselamatan makanan JS SEZ diwujudkan untuk memastikan misi Johor sebagai bakul makanan negara tercapai. Melalui Teras Kedua Pembangunan Ekonomi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ada bentangkan rancangan perihal keterjaminan bekalan makanan Johor yang mana kita lihat akan memberi tumpuan kepada industri pengeluaran padi, penternakan dan pertanian. Soalnya, bagaimana untuk kita melonjakkan produktiviti dan pengeluaran makanan dari Johor. Sebab itu melalui agenda JS-SEZ ini, Johor harus wujudkan pelan keselamatan makanan untuk memastikan bukan sahaja pengeluaran naik, tetapi orang muda Johor juga dapat terlibat sama sekali gus memberi mata pencarian baru kepada meraka. JS-SEZ ini bukan sahaja pintu antara Malaysia dengan Singapura, tetapi kepada seluruh Malaysia dan ASEAN. Rugi kalau kita tidak sama-sama ambil peluang ini untuk menjadi bakul makanan negara dan menjadi pengeluar utama di rantau Asia Tenggara. Cadangan dan usul-usul beginilah sekiranya kita buat akan memberi manfaat kepada orang Johor dan akan memastikan mereka terus tinggal bekerja dan hidup di negeri Johor ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semua usaha dan usul yang saya bentangkan tadi adalah perihal menitikberatkan pembangunan ekonomi, soal wang ringgit dan juga jatuh bangun pelaburan negeri. Tapi pada masa yang sama usah kita sesekali lupa nilai-nilai yang kita mahu pupuk buat semua anak-anak Johor. Patik sekali lagi menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menegaskan untuk memberi autonomi kepada pendidikan Johor untuk maju ke hadapan. Walaupun Pendidikan adalah dalam bidang kuasa persekutuan, saya fikir tidak mustahil untuk Johor mengusulkan satu revolusi pendidikan kepada kerajaan persekutuan apatah lagi dalam Dewan Negeri ini sendiri, ada Ahli-Ahli Parlimen yang boleh mengutarakan usul ini ke Dewan Rakyat.
Pertama, saya dengan rendah diri mahu mencadangkan usul autonomi terpimpin atau dengan izinnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Guided Autonomy untuk sistem dan silibus pendidikan dikaji dan diselidik dengan halus kerana inilah bagi saya untuk Johor dan Malaysia bergerak ke hadapan. Kenapa autonomi terpimpin ini penting? Kalau kita lihat laporan OECD ada hubung kait antara autonomi Pendidikan dan juga keputusan PISA anak-anak, dimana negara yang lebih banyak memberikan autonomi kepada sekolah-sekolah untuk menentukan silibus dan penggunaan buku teks dan polisi peperiksaan mencatatkan rekod literasi yang lebih baik. Kita tidak perlu menuntut autonomi yang terlalu menyeluruh seperti negara-negara lain dengan memberikan autonomi kepada setiap sekolah. Namun langkah awal boleh dimulakan dengan memberikan autonomi terpimpin di mana silibus-silibus ataupun pilihan silibus ditentukan di peringkat persekutuan dan kemudian negeri-negeri di bawah kelolaan jabatan Pendidikan negeri boleh memilih silibus terbaik untuk negeri mereka sendiri bersesuaian dengan demografi dan potensi negeri tersebut. Sewaktu saya berkhidmat di Unit Pelaksanaan Dan Prestasi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, ataupun pada waktu itu kami panggil pada waktu itu PADU, kami ada mengkaji soal mengenai Guided Economy ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang melihat kepada sistem pendidikan di Ontario yang telah dibentangkan juga kepada mantan Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik. Cadangan itu juga telah disambut dengan baik namun tidak diteruskan sekiranya Johor benar-benar serius dengan dalam membawa usul autonomi terpimpin, Johor bakal membawa revolusi besar untuk pendidikan dalam negara ini.
Kedua Yang Berhormat Datuk Speaker, fokus kepada tumpuan sedekad Pendidikan TVET. Kita semua mahu membina sebuah negeri yang maju, jadi kita harus belajar dari negara-negara maju yang lain di mana mereka menekankan anak-anak untuk mereka mempelajari Pendidikan TVET. Malah kita semua tidak perlulah malu bila kita sebut Pendidikan TVET ini seolah-olah Pendidikan TVET adalah pendidikan kelas bawahan. Hakikatnya, industri hari ini
menuntut kemahiran TVET sebagai satu keutamaan dan negara maju sedang bekerja keras untuk meningkatkan jumlah graduan TVET dalam negara mereka masing-masing.
Saya boleh sebut negara-negara maju seperti Jerman ataupun Korea Selatan, tetapi pada hari ini kita lihat sahaja negara jiran kita seperti Indonesia, Nadiem Makarim, Menteri Pendidikan Indonesia juga menegaskan bahawa hanya dengan sokongan graduan TVET akan membolehkan Indonesia menjadi negara yang maju ataupun berpendapatan tinggi menjelang tahun 2045. Maka, kita juga tidak boleh berputih mata sahaja. Kena ada usaha, untuk bersaing dengan negara-negara yang lain. Negeri Johor boleh menggesa Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, MITI menyediakan institusi TVET berimpak tinggi di Johor, menyediakan kursus pendek TVET, tajaan kerajaan negeri dan memastikan peratus murid-murid Johor menyertai kursus TVET, menjadi peratusan yang paling tinggi di Malaysia. Saya fikir perkara ini tidaklah mustahil, memandangkan dalam Dewan Negeri Johor juga kita ada Timbalan Menteri MITI. Jadi, perkara ini kiranya mudah untuk negeri Johor berbincang dengan kerajaan persekutuan. Kalau bermula sekarang, saya percaya menjelang tahun 2030, Johor akan menjadi negeri pendahulu dalam soal memperkasakan ilmu TVET dalam kalangan anak negeri.
Ketiga, menjamin akses pendidikan berkualiti. Kajian menunjukkan bahawa kecenderungan kanak-kanak untuk belajar dibentuk daripada pendidikan awal mereka iaitu semenjak di Tadika. Namun begitu, tidak semua anak-anak dalam Johor ini ada akses pada Tadika. Saya puji usaha Yang Berhormat EXCO Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperluaskan Jauhar Childcare Centre. Saya fikir kerajaan negeri perlu memberi penekanan yang lebih untuk usaha ini. Saya juga punya kerisauan yang besar tentang keciciran pendidikan. Saya ambil contoh dalam kawasan Puteri Wangsa, Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila saya melawat PPR-PPR di Puteri Wangsa, masih ada lagi keluarga di mana anak-anak mereka semuda usia 10 - 11 tahun sudah tidak pergi ke sekolah kerana masalah kewangan dan tidak mampu untuk menghantar anak ke sekolah. Pendidikan ini adalah asas untuk mengeluarkan mereka dari kitaran kemiskinan. Sekiranya anak-anak ini tidak mendapat akses kepada pendidikan, maka mereka akan kekal dalam kepompong kemiskinan tersebut. Jadi saya seru kerajaan negeri untuk buat satu kajian bagi mengenal pasti anak-anak yang keciciran atau berisiko tinggi keciciran, boleh tanya kepada sekolah-sekolah, minta pandangan daripada guru-guru di sekolah kerana mereka yang paling rapat dengan anak-anak ini. Bukan sahaja daripada sudut kurikulum mereka sahaja, tetapi kita kena pastikan ada bantuan akses untuk mereka ke sekolah kerana kita tahu sekarang ini van dan bas sekolah juga yurannya terlalu tinggi. Kita perlu menyediakan sebagai contohnya kenderaan ke sekolah percuma di beberapa hotspot keciciran pendidikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak menjadi Ahli Dewan Negeri Johor ini, soal perubahan iklim memang tidak pernah lekang saya bawa dalam setiap usul dan perbahasan. Ini isu yang tidak boleh diambil ringan. Bencana banjir daripada setahun sekali, sekarang dah boleh jadi 3, 4 bulan sekali. Kadang kala ada musim yang lebih kerap. Kalau dalam kawasan Puteri Wangsa sahaja setakat Mei ini, sudah tiga kali banjir. Bukan sahaja di kawasan kampung, malah di kawasan-kawasan bandar. Lebih membimbangkan apabila dalam kawasan saya sendiri, kalau hujan lebih daripada satu jam saja sudah boleh jadi banjir kilat. Maka saya tidak perlu ulang lagi soal bencana banjir ini yang membawa kerosakan harta benda, kenderaan, sekolah-sekolah dan infrastruktur yang jelas mengganggu ekonomi Bangsa Johor. Mujurlah apabila saya dan ADUN-ADUN lain membawa isu ini, ianya disambut baik oleh kerajaan negeri.
Kita ada Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Bencana Alam, ada Johor Green Deal 2030 dan baru tahun lepas kita menjadi tuan rumah Asia Pacific Climate Week 2023 bersama-sama dengan United Nation Framework Convention And Climate Change saya ucapkan banyak-banyak terima kasih. Hakikatnya, banyak lagi kerja yang kita perlu buat. Jika dibiarkan tanpa sebarang usaha, perubahan iklim boleh menghapuskan 11% daripada KDNK rantau Asia
Tenggara. Kita perlu mula secepat mungkin agenda, dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, climate resilience, ataupun ketahanan iklim dengan pembangunan negeri. Kita lihat sebagai contohnya di Asia Tenggara, saya nak ambil contoh di bandar-bandar Vietnam, di mana di Ho Chi Minh sebuah pusat bandar dengan 8.99 juta penduduk ada rancangan untuk bergerak ke hadapan dengan reka bentuk bandar sensitif air atau water sensitive urban development. Sistem ini mengintegrasikan pengurusan air dengan pembangunan bandar dan persekitaran binaan bandar. Pendekatan sedemikian memerlukan langkah-langkah seperti taman hujan, tasik buatan dan juga bumbung hijau. Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, ia juga membantu mencegah hakisan tanah, meningkatkan biodiversiti, mengasingkan karbon dan menyediakan ruang komuniti untuk penduduk-penduduk bandar. Saya kira dalam kita menghadapi norma baharu perubahan iklim ini, walaupun mitigasi itu adalah langkah awal yang sangat penting, kita juga perlu melihat soal-soal adaptasi supaya rakyat Johor dapat menghadapi perubahan iklim ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menzahirkan penghargaan buat Dewan Negeri Johor ini kerana sekali lagi memberi ruang untuk saya berbahas dan titah ucapan Pemangku Sultan Johor. Saya juga amat berlapang hati atas pemberian peruntukan yang saksama buat ADUN kerajaan dan ADUN pembangkang di kerajaan di mana, ADUN pengimbang kerajaan. Di mana saya telah sebut usaha ini beberapa kali di platform nasional. Saya kira tidaklah keterlaluan sekiranya saya nak ulang sekali lagi keperluan untuk mewujudkan enakmen peruntukan saksama, agar peruntukan yang saksama ini diteruskan bukan sahaja untuk kerajaan pada hari ini, tetapi kerajaan-kerajaan yang akan datang, tidak kiralah parti politik manapun yang akan memegang tampuk pemerintahan negeri Johor, peruntukan yang saksama tetap dapat agar semua Bangsa Johor dapat merasai peruntukan ini Yang Berhormat Datuk Speaker.
Sepanjang tahun lepas saya juga berpeluang untuk bekerja dan turun padang bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan beberapa EXCO untuk fokus kepada isu rakyat seperti bencana banjir, Jawatankuasa Dewan Negeri dan lawatan-lawatan rasmi keluar negara. Ini semua kita buat untuk Bangsa Johor. Saya berikrar untuk terus bekerja keras buat Puteri Wangsa dan Johor sekaliannya. Moga negeri ini terus dipayungi dengan rahmat Al-Walid, dilimpahi rezeki Ar-Razzaq dan dicurahkan redha Al-Qadir. Amin ya rabbal alamin. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Saya dah bayar ya dua minit. Terima kasih Puteri Wangsa. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Panti.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Panti merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Tahniah Panti ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar serta barisan EXCO atas khidmat terbaik yang ditunjukkan. Panti berikrar akan sentiasa bekerjasama dan mendukung segala usaha pihak kerajaan bagi kepentingan Bangsa Johor keseluruhannya. Begitu juga dengan semua kakitangan awam negeri Johor yang diterajui oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor atas khidmat cemerlang selama ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu peningkatan kos sara hidup dan kesukaran mendapatkan pekerjaan sememangnya menjadi dua perkara yang meresahkan rakyat kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat sebagai contoh, kos penggunaan elektrik serta kos penggunaan air yang melonjak mendadak merupakan beban yang ditanggung rakyat setiap bulan. Kita tidak boleh menafikan keperluan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi seperti penggunaan
perkakasan. Kita tidak boleh menafikan penggunaan keperluan, penggunaan tenaga elektrik yang tinggi seperti penggunaan perkakasan elektrik waktu ini. Dengan suhu sekitar yang panas melampau dan kadang kala boleh melebihi tahap selamat, keperluan penggunaan penghawa dingin, kipas dan sebagainya adalah penting. Begitu juga dengan keperluan penggunaan peranti bagi tujuan pembelajaran secara atas talian, bekerja dan sebagainya dan keperluan lain di rumah seperti peti ais, mesin basuh dan lain-lain. Ini semua menyumbang kepada penggunaan elektrik yang tinggi. Persoalannya, bagaimana isu ini dapat kita tangani bersama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sudah tentu antara perkara yang boleh menjadi pilihan kita adalah teknologi solar yang merupakan alternatif yang terbaik, cuma kos pemasangannya sangat tinggi. Banyak syarikat yang menawarkan produk ini termasuk anak syarikat TNB sendiri ataupun yang lebih baik sebenarnya kerajaan negeri boleh menjalin kerjasama dengan institusi awam seperti UiTM yang sememangnya ada teknologi solar dan mungkin juga UTM bagi menghasilkan satu penyelesaian yang terbaik untuk rakyat. Panti ingin cadangkan untuk kerajaan negeri mempromosi penggunaan solar ini dengan inisiatif yang sesuai. Mungkin rebat pemasangan diberi pada yang layak atau pemasangan dengan kos rendah ataupun diskaun. Dengan adanya inisiatif seperti ini, secara jangka panjang akan membantu rakyat menurunkan kos penggunaan elektrik rumah ke jumlah yang lebih rendah.
Begitu juga dengan kos air. Jika bil air sahaja naik, tetapi perkhidmatan yang diberikan tidak setimpal, bekalan air tidak mencukupi, tidak ada bekalan air, tekanan air rendah, maka kita perlu mendesak untuk diperbaiki segera dan sewajarnya seperti yang telah dibahaskan oleh rakan-rakan lain sebelum ini. Satu perkara lagi tentang kos sara hidup ini ialah tentang rasionalisasi subsidi yang sedang dilakukan persekutuan. Kerajaan negeri perlu bersedia kerana ianya pasti akan ada kesan domino. Contohnya, apabila kos diesel meningkat disebabkan tiada subsidi yang mana pengangkutan perniagaan seperti lori mungkin merupakan pengguna yang besar bagi diesel, ini akan meningkatkan kos perniagaan dan secara tidak langsung harga barang dan perkhidmatan juga akan meningkat, yang mana bebannya akhirnya pada rakyat secara umum.
Perkara kedua adalah tentang kesukaran mendapatkan pekerjaan. Syabas kepada kerajaan negeri atas pelbagai usaha menarik pelaburan yang tinggi dan kesannya dapat mewujudkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baru sejak 2022. Usaha seperti ini perlu dilipat gandakan agar lebih banyak lagi peluang pekerjaan dapat diwujudkan khususnya di luar daerah Johor Bahru seperti di kawasan Panti atau daerah Kota Tinggi. Seperkara lagi ialah bagaimana untuk menambah pendapatan? Antara usaha yang perlu dilakukan adalah dengan menggalakkan rakyat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi mendapatkan pendapatan sampingan. Namun, Panti menyeru agar proses pendaftaran perniagaan atau syarat bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan ini dapat diminimumkan agar tidak menjadi batu penghalang bagi mereka yang sedang berusaha. Inisiatif bantuan perniagaan juga seperti yang dilaksanakan kini oleh agensi usahawan di dalam negeri Johor perlu dipermudahkan khususnya untuk mereka yang baru atau mahu memulakan perniagaan kecil-kecilan. Mungkin perlu ada inisiatif khas untuk perniagaan baru tanpa syarat seperti contohnya sudah menjalankan perniagaan lebih enam bulan atau setahun baru layak memohon. Inisiatif ini tidak perlu ada syarat yang banyak bersesuaian dengan perniagaan yang baru sahaja dijalankan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, titah Duli Yang Amat Mulia Tunku tentang kepentingan pendidikan berkualiti yang merupakan asas kemajuan negeri dan juga tentang silibus yang tidak lagi relevan dan yang perlu diperbaharui amatlah benar dan perlu perhatian segera. Perkara seperti pentaksiran bilik darjah merupakan satu kaedah yang dilaksanakan pada waktu ini. Tidak dinafikan keperluan pentaksiran berterusan ini bagi memastikan perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid dapat diletakkan di tahap yang terbaik. Namun, kadang kala ianya ada kelemahan. Ulasan atau penetapan tahap pencapaian murid yang mengikut guru akan menyebabkan keseragaman dari segi tahap sebenar murid
akan berbeza, akan berbeza-beza bergantung kepada guru dan sekolah. Dua murid yang mempunyai kemahiran dan tahap pembelajaran sama tetapi berada di sekolah yang berbeza, kemungkinan akan mendapat penilaian yang berbeza. Bagi memastikan, memastikan adanya pertimbangan dari segi penilaian ini, Panti mencadangkan untuk kita mendesak mengembalikan peperiksaan di peringkat rendah, iaitu UPSR dan menengah rendah iaitu PMR semula sebagai tambahan kepada PBD ini. Jika persekutuan tidak mahu laksanakan, kerajaan negeri sebagai peneraju pendidikan di Malaysia perlu memperkenalkan sesuatu yang sama dengan peperiksaan ini bagi pelajar di dalam negeri Johor. Tidak perlu semua mata pelajaran tetapi cukup beberapa mata pelajaran penting seperti Matematik, Sains, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Perkara seterusnya dalam aspek pendidikan ini adalah berkaitan dengan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak. Tidak dinafikan telah ada kelas pendidikan awal kanak-kanak disediakan oleh kerajaan melalui pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan itu sendiri, KEMAS dan sebagainya. Namun, selalunya ianya tidak mencukupi dan sebagai alternatif ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah, sekolah swasta yang semua maklum mengenai yuran yang tinggi bagi sesetengah ibu bapa. Panti mengutarakan isu ini kerana pada pandangan Panti, seperti yang dinyatakan oleh YB EXCO dalam jawapan lisan semalam berkaitan isu hubungan etnik dan budaya. Pendidikan awal, pendidikan dari awal adalah penting bagi memastikan asas pendidikan yang betul dan terbaik dapat diterapkan. Maka, Panti mencadangkan agar satu inisiatif dapat diwujudkan untuk perkara ini. Mungkin memberi bantuan atau pun kerajaan negeri sendiri menubuhkan kelas-kelas pendidikan awal kanak kanak ini. Mungkin di peringkat sekolah agama kita di Johor boleh mulakan yang mana adanya wujud kelas bagi kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun dapat masuk dan memulakan persekolahan. Kita pun tahu dan maklum kita ada Tadika Agama Johor, tapi tidak banyak dan ianya boleh dikembangkan serta diperluas sebagai asas bagi perkara ini. Dan inilah peluang untuk negeri memastikan silibus-silibus terbaik dapat diperkenalkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas titah bahawa setiap rakyat Johor berhak menikmati kemudahan kesihatan yang baik tanpa mengira latar belakang, sosioekonomi mereka. Kemudahan infrastruktur merupakan satu elemen yang penting. Namun, melengkapkan infrastruktur dengan cukupnya peralatan, doktor, jururawat dan lain juga amat perlu dititikberatkan. Isu kekurangan doktor khususnya di hospital kerajaan sering diperkatakan. Termasuklah di Hospital Sultan Ismail. Jumlah mereka yang memerlukan rawatan sangat tinggi. Ada laporan mengatakan pesakit datang ke hospital seawal 4.00 pagi untuk mendapatkan nombor giliran, waktu menunggu juga sangat lama walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh doktor dan jururawat bagi memberikan rawatan dengan segera.
Apa alternatif kepada isu ini untuk mereka yang memerlukan rawatan? Sudah tentu hospital swasta merupakan pilihan, namun kos yang sangat tinggi adalah di luar kemampuan untuk mereka yang tidak mempunyai insuran perubatan. Kesedaran bagi rakyat, khususnya di luar bandar bagi mendapatkan insuran perubatan juga rendah dengan pelbagai alasan termasuk tidak mampu walaupun serendah RM50.00 sebulan. Tetapi hakikatnya, masa kini insuran perubatan menghampiri keperluan bukan lagi kehendak bagi masyarakat.
Panti mempunyai pengalaman kehilangan sahabat baik yang terpaksa menunggu 6 bulan untuk temu janji dengan doktor pakar dan lebih 6 bulan lagi hanya untuk ujian CT Scan dan akhirnya meninggal dunia akibat barah tanpa sempat menerima rawatan. Kalau di swasta hanya mengambil masa beberapa hari bagi proses mendapatkan rawatan ini.
Panti ingin mencadangkan bagi negeri memperkenalkan insuran perubatan khas untuk semua bayi yang lahir di Johor dan usaha ini boleh dilaksanakan bersama dengan Hospital KPJ yang merupakan sebahagian dari anak syarikat kerajaan negeri sendiri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kebajikan khususnya untuk mereka yang memerlukan merupakan perkara yang amat dekat dengan tugas sebagai Wakil Rakyat. Pada hari ini, Panti ingin bahaskan tentang satu perkara berkaitan kebajikan ini yang perlu diambil perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab. Ianya adalah tentang isu anak tidak sah taraf dan masa depan mereka. Pelbagai faktor perkara ini berlaku dan secara umumnya anak-anak ini diterima oleh pihak JKM apabila mereka ditinggalkan sama ada di hospital atau dijumpai semasa bayi. Yang menjadi satu masalah yang ingin Panti nyatakan di sini adalah apabila proses mendapat kewarganegaraan bagi anak-anak ini mengambil masa yang lama. Panti menerima laporan selalunya sampai umur anak-anak tersebut menjejak 11 tahun, ada yang lebih daripada itu. Persoalannya, bagai mana tentang persekolahan mereka? Umur 11 tahun sudah terlalu lambat untuk bersekolah secara formal. Selain isu persekolahan, akan banyak juga kekangan dari segi proses pengambilan anak angkat bagi anak ini. Satu penyelesaian bersama untuk segerakan proses ini antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu dicari untuk memastikan perkara ini dapat diatasi kelak.
Seterusnya adalah berkaitan dengan kesesakan jalan raya yang memang menjadi satu perkara yang sering berlaku, sesuai dengan perkembangan sesuatu kawasan. Tambahan pula dengan bilangan kenderaan yang semakin meningkat serta tibanya waktu puncak. Namun, jika dilihat akhir-akhir ini bukan waktu puncak pun, selalu ada kesesakan jalan raya sebagai contoh di Lebuh Raya Utara Selatan. Kadang-kadang, hari biasa pun berlaku dan antara sebabnya kurang penguatkuasaan peraturan jalan raya serta penguatkuasaan papan tanda. Papan tanda yang selalu diambil ringan oleh pengguna adalah seperti kenderaan berat dilarang memotong, kenderaan berat ikut kiri dan ini menyebabkan kesesakan panjang dan lama khususnya di kawasan berbukit sepanjang lebuh raya. Panti amat mengalu-alukan kelulusan pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan Johor Bahru - Simpang Renggam yang dijangka siap dalam masa 3 tahun bermula 2023. Panti mengharapkan agar projek ini mendapat perhatian yang tinggi kerajaan negeri dan dari segi pelaksanaannya. Dan dapat dimaklumkan perkembangannya dari masa ke semasa kepada rakyat.
Selain daripada itu, usaha kreatif juga perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab dalam perkara kesesakan jalan raya ini. Usaha seperti smart lane perlu diperbanyakkan lagi dan Panti ingin mengambil kesempatan di Dewan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada JKR Kota Tinggi atas usaha membuat sedikit perubahan aliran trafik di Simpang Kota Tinggi-Kulai pada musim Hari Raya Aidilfitri tempoh hari. Kesannya kesesakan jalan raya yang berlaku saban tahun di kawasan tersebut dapat dielakkan pada tahun ini. Syabas dan tahniah! Usaha seperti inilah patut dicontohi oleh semua pihak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak kali dibangkitkan di dalam bahas dan juga soalan-soalan sama ada secara lisan atau bertulis tentang industri pelancongan yang merupakan antara fokus khususnya di Panti dan daerah Kota Tinggi. Merujuk kepada satu artikel di media sosial yang mendapat perhatian netizen bertajuk Tourism Is There in JB dengan izin. Banyak perkara yang dinyatakan termasuk pelancongan yang hambar. Namun, penulis juga ada menyatakan beberapa contoh tempat yang berpotensi, namun tiada promosi yang sepatutnya. Apa yang menarik perhatian Panti adalah cadangan yang diutarakan oleh penulis. Cadangan ini merupakan cadangan yang hampir sama disampaikan oleh Panti sebelum ini di dalam perbahasan di Dewan yang mulia ini.
Cadangan pertama adalah untuk mempromosikan dengan mewujudkan litar pelancongan. Dengan ada litar pelancongan ini maka pelancong dapat merancang serta mengetahui tentang capaian lokasi tarikan pelancongan tersebut. Sama ada berkenderaan sendiri, sewaan, pengangkutan khas atau hanya berjalan kaki. Tanpa litar pelancongan ini, pelancong tidak tahu hendak mula di mana, hendak ke mana selepas satu tarikan dan bagaimana untuk ke satu-satu tarikan. Mungkin perkara ini sudah ada tapi kurang dihebahkan. Maka, gambar rajah litar pelancongan ini sepatutnya dipamerkan di banyak tempat sama ada secara fizikal, bercetak atau digital di media-media sosial.
Cadangan kedua yang menarik dari penulis adalah untuk mewujudkan pelbagai kembara bertema seperti kembara makanan tempatan, kembara budaya dan kesenian, kembara membeli belah dan seumpama dengannya. Panti harap input ini diambil berat oleh pihak yang bertanggungjawab dan jika dilaksanakan, Panti memohon agar industri pelancongan di Panti seperti Air Terjun Kota Tinggi, Kem Raftpoint Gunung Muntahak, Gunung Panti, Homestay Kampung serta Santuary Gajah yang masih tak siap-siap dapat dijadikan pemula bagi menjayakan usaha tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara seterusnya yang ingin Panti bangkitkan adalah isu banjir. Panti maklum akan pelbagai usaha yang dilaksanakan. Namun, satu perkara yang saban kali Panti nyatakan dan tekankan sebelum ini sama ada di dalam mesyuarat atau pun dalam perbahasan Dewan yang mulia ini nampaknya diambil ringan. Perkara penyelenggaraan saliran sungai, parit dan longkang merupakan antara perkara yang menyebabkan banjir khususnya banjir kilat. Paling akhir berlaku ialah 4 Mei yang lalu di mana satu PPS dibuka dengan mangsa lebih 300 orang. PPS tersebut ditutup keesokan harinya selepas air surat. Ini adalah banjir kilat. Tinjauan dan maklum balas sudah dibuat sebelum ini tentang keperluan untuk menyelenggara sungai-sungai sekitar kampung Temenin, Kampung Lukut, Kampung Batu 4 dan Kampung Sepak Hulu dan Sepak Hilir tetapi tidak dilakukan.
Panti juga ambil kesempatan ucapkan terima kasih kepada pihak KEJORA yang segera membuat tinjauan dan berjanji menyelenggara saliran dan longkang serta kerja-kerja berkaitan di Kampung Desa Makmur yang sebelum ini tidak pernah banjir. Namun, pada 4 Mei lepas turut terjejas dengan banjir. Jika perlukan bantuan kami Wakil Rakyat, harap pihak berkaitan untuk berkongsi maklumat tentang kekangan bagi bertujuan penyelenggaraan ini dan Insya-Allah kami juga bersedia membantu agar perkara ini dapat diselesaikan segera dan sebaiknya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan, Panti harap segala perkara yang dibangkitkan oleh Panti dan rakan-rakan mendapat perhatian yang khusus oleh pihak kerajaan. Sama ada pihak kerajaan dari negeri atau pun persekutuan. Jika isunya untuk persekutuan, mohon agensi bertanggungjawab bawalah perkara tersebut bagi tindakan dan mencari penyelesaian ke kementerian yang terlibat. Segala persoalan serta isu pula dapatlah diberi jawapan oleh EXCO yang terlibat mahupun secara lisan atau bertulis. Janganlah hanya kita gah dengan dokumen-dokumen inisiatif dan juga dasar-dasar tapi pelaksanaannya di peringkat akar umbi tidak seperti yang diharapkan. Indah khabar dari rupa. Semoga segala usaha baik kita untuk agama bangsa dan negeri Johor yang bermula di Dewan yang mulia ini mendapat keberkatan dari Allah S.W.T., Insya-Allah. Sekian wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Panti mohon menyokong.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Tenang. Supporter dekat atas tu.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Jangan disimpan emas di locker, kelak hilang sendiri kerugian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang hadir mengambil bahagian. (Dewan bertepuk)
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan serta ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk menzahirkan sembah setia dalam perbahasan menjunjung kasih di atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor di Dewan yang mulia ini.
Tenang juga ingin merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku di atas perkenan merasmikan persidangan Dewan yang mulia pada kali ini.
Tahniah juga daripada patik dan penduduk Tenang di atas pelantikan Yang Amat Mulia Tunku sebagai Pemangku Sultan Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setelah dihayati dengan penuh keprihatinan titah ucapan Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku ternyata Tunku amat peka dengan situasi rakyat pada hari ini. Tenang bangga mempunyai Pemangku Sultan yang bukan sahaja berjiwa rakyat malah nalurinya sentiasa ingin melihat rakyat Baginda berada dalam keadaan selesa dan selamat. Terutama dari segi kecukupan makanan, adanya tempat tinggal, kemudahan pendidikan berkualiti, akses kepada kemudahan asas dan kemudahan kesihatan yang baik.
Tenang juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi dan kerajaan negeri atas misi Maju Johor 2030 iaitu pelaksanaan 6 teras utama yang memacu pertumbuhan ekonomi ke arah negeri maju menjelang 2030 dengan Prinsip Kesaksamaan Demi Kesejahteraan Bangsa Johor. Iaitu Urus Tadbir Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan Dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan Dan Kelestarian Alam Sekitar dan yang terakhir Orang Muda Johor. Tahniah juga di atas pencapaian ekonomi negeri dengan jumlah pelaburan RM113.7 bilion.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kos sara hidup semakin bimbang, mendapatkan pekerjaan bukanlah mudah, bukan diri ini tidak tenang tetapi hati yang merasa resah. Saya menyokong penuh saranan Yang Amat Mulia Tunku agar program-program menyantuni rakyat diteruskan demi keterjaminan kesejahteraan sosial semua lapisan rakyat Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menambahbaik elaun bulanan pegawai masjid dan surau bukanlah satu isu baru. Tenang percaya di setiap kawasan DUN pegawai masjid dan surau mengharapkan suara mereka dibawa bagi membela nasib mereka. Tugas mereka ini bukanlah satu tugas yang mudah, malah memerlukan komitmen yang tinggi. Setiap permasalahan berkaitan urusan agama atau majlis-majlis keagamaan penduduk qariah setempat mereka inilah yang menjadi barisan hadapan yang akan membantu secara langsung selain menjadi tempat rujukan dan harapan masyarakat setempat. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memperuntukkan sejumlah besar pemberian one off kepada seluruh pegawai masjid dan surau yang mempunyai tauliah dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Pemberian One-Off secara tahunan ini merupakan satu usaha yang harus dipuji kerana secara tidak langsung memberi satu sentuhan keprihatinan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kepada mereka ini yang sentiasa memelihara, melaksanakan dan menegakkan syiar islam di bumi Johor yang bertuah ini.
Berikut sedikit maklumat yang saya perolehi daripada 3 negeri berkenaan kadar elaun pegawai masjid dan surau iaitu negeri Johor, Selangor dan Pahang. Untuk masjid qariah di negeri Johor, imam satu dan imam dua menerima elaun RM850.00 daripada JAKIM tetapi tiada dari kerajaan negeri dan Majlis Agama Negeri. Manakala di negeri Selangor pula, selain mendapat RM850.00 daripada JAKIM mereka juga ditambah dari kerajaan negeri sebanyak RM650.00 bagi imam satu dan imam dua. Menjadikan jumlah keseluruhan RM1500.00. Kita pergi kepada elaun Bilal dan Noja. Bilal di negeri Johor hanya mendapat RM100.00 sebulan dan Noja atau Siak mendapat RM70.00 daripada kerajaan negeri tanpa adanya sumber-sumber yang lain. Manakala di Selangor, kerajaan negeri memperuntukan elaun Bilal sebanyak RM340.00, elaun Bilal dua RM250.00, Noja Siak satu RM240.00 dan Noja atau siak dua RM200.00. Manakala untuk surau qariah atau surau Jumaat, kerajaan negeri Johor membayar RM100.00 kepada imam dan RM50.00 kepada bilal tiada lagi dari sumber lain. Manakala di negeri Pahang, untuk jawatan yang sama dibayar sebanyak RM300.00. Jika dibandingkan 3 negeri ini jumlah elaun yang dibayar oleh negeri Johor adalah yang terendah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain mengkaji dan menstrukturkan semula kadar elaun ini, kita juga perlu melihat kepada pelapis baru bagi jawatan pegawai masjid dan surau iaitu Imam,
Bilal dan Noja. Di negeri Johor ini tidak kurang anak muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu untuk memegang jawatan penting ini. Mereka ini boleh diketengahkan dan dilantik kerana mempunyai kelebihan dari sudut kesempurnaan bacaan al-Quran, melaungkan azan dengan baik dengan suara yang merdu. Tanpa kita sedari beribu anak Johor yang kini bergelar al-Hafiz bagi satu-satu kawasan qariah yang tidak ada kelompok pelajar tahfiz masih ada mereka yang berkemahiran dan berani untuk kehadapan. Golongan ini juga boleh diketengahkan.
Memang benar untuk menjadi seorang Imam dan Bilal, bukan satu perkara yang mudah kerana selain melaksanakan tugas hakiki di masjid dan surau ada tugas sampingan yang perlu dilaksanakan seperti program-program pengimarahan masjid dan surau dan majlis-majlis lainnya bersama masyarakat setempat. Yang sedihnya, pada hari ini mereka ini tidak berminat untuk menjawat jawatan-jawatan ini kerana tawaran yang diberikan tidak menarik. Mereka memikirkan komitmen yang perlu ditanggung selain komitmen masa yang perlu diberikan kepada masjid dan surau. Jika menerima jawatan utama ini mereka tetap perlu melakukan kerja-kerja lain supaya dapat menampung perbelanjaan harian dan komitmen bulanan yang tinggi untuk keluarga. Komitmen masa juga menjadi satu perkara yang penting jika telah dilantik, dia akan terikat dengan kehendak pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau. Disebabkan bila memikirkan komitmen ini sangat tinggi ramai yang menolak apatah lagi tidak setimpal dengan imbuhan yang diberi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana itulah Tenang mengharapkan kepada kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan dan memperhalusi kadar elaun Imam, Bilal, Noja masjid surau ini agar ianya dapat ditambah baik dan lebih elok lagi tawarkan atau serapkan mereka ini kepada jawatan kontrak dengan elaun yang bersesuaian dengan kelayakan yang ada supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih sejahtera dan tenang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang juga tidak terlepas dari masalah Perumahan Mampu Milik Untuk Rakyat Bangsa Johor. Pada 3 April 2018, Majlis Pecah Tanah telah disempurnakan oleh Perdana Menteri pada ketika itu bagi projek RMMJ, Rumah Mampu Milik Johor di Bukit Mambai, Labis. Ianya adalah projek kerajaan negeri menerusi PIJ Holdings membabitkan sejumlah 380 buah unit RMMJ. Perumahan Komuniti Johor A dan Perumahan Komuniti Johor B. Pada ketika itu harga unit perumahan terbabit antara RM42,000.00 dan RM150,000.00. Sehubungan itu, Tenang memohon supaya projek RMMJ ini diteruskan memandangkan ianya satu keperluan rakyat, malahan ianya antara sebab golongan muda untuk terus tinggal di Labis dan bagi memastikan putaran ekonomi di Labis berjalan lancar dan sama rata dengan kawasan bandar yang lain. Pada majlis yang sama, Perdana Menteri ketika itu turut mengumumkan peruntukkan RM5,000,000.00 bagi pembinaan sebuah stadium mini di Labis. Semenjak itu, projek ini tiada khabar berita lagi. Kami di Tenang dan Labis pula ibarat menunggu buah tidak gugur. Tenang memohon supaya kerajaan negeri dapat melihat kembali dan meneruskan projek ini seperti yang telah dijanjikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Labis ini jangankan Pusat Pengajian Tinggi, Sekolah Berasrama Penuh pun tiada. Telah bertahun isu pembinaan atau pengwujudan sekurang-kurangnya kolej komuniti di Labis dibawa, kita banyak pilihan, kita ada IPT, Kolej Komuniti, Politeknik dan paling tidak pun Sekolah Berasrama Penuh seperti MRSM atau seumpamanya. Jika adanya pusat pengajian seperti ini, ianya akan melahirkan generasi lebih berilmu terutama di DUN Tenang. Selain itu, merancakkan lagi ekonomi mengikut pembangunan dan infrastruktur sedia ada. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Datuk Speaker, daerah Segamat ini bukan ada Segamat sahaja ia juga merangkumi Labis yang mana di dalamnya ada Tenang dan ada Bekok. Ini bila kita menceritakan soal kemajuan dan pembangunan semuanya tertumpu di Segamat. Kalau buat apa-apa semua di bandar Segamat. Bagaimana kami yang di pinggir bandar ini. Kami juga ingin melihat kemajuan yang pesat di dalam kawasan kami macam menjadi satu tradisi pula. Kalau EXCO atau Menteri dari satu-satu kawasan itu, Kawasan itu sajalah yang menerima kemajuan. Mereka akan bawa
semua peruntukan ke Kawasan mereka. Bagaimana dengan kami ADUN-ADUN biasa. Kena tengok-tengok sikit kami ini. Balik-balik EXCO, balik-balik EXCO mengutamakan kawasan masing-masing. Mohon maaf ya. Contohnya di Segamat kita telah ada UiTM di bandar Segamat, kita sudah ada Kolej Komuniti, 2 kolej komuniti kita ada Pusat Latihan Polis dan baru-baru ini kita ada Sekolah Sains. Lepas ini buatlah satu kat Labis, tak dapat Universiti, tak dapat Politeknik, MRSM jadilah. Insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang mengemukakan permasalahan pada sidang DUN yang lalu dan pada 10hb November 2023, EXCO Pendidikan bersama ketua PPD Daerah, Pengarah dan Penolong Pegawai telah hadir melihat, saya ulang, melihat dengan arahan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor melihat sendiri keadaan Kompleks Pendidikan tersebut yang tular cerita telah pun dihuni oleh makhluk- makhluk asing, saya tak nak sebut hantu nanti ramai pula yang takut. Iya. Dan ianya terbiar begitu lama. Sehingga hari ini selepas beberapa bulan belum ada tindakan yang dibuat. Tenang memohon paling tidak pun tolaklah dulu bangunan kompleks tersebut. Bersihkan kawasan tersebut sekurang-kurangnya rakyat nampak ada inisiatif daripada kerajaan negeri. Ianya dibuat tindakan daripada membiarkan ianya dihuni makhluk-makhluk yang kita nampak ataupun tak nampak. Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, ada pegawai yang cakap berani YB masuk di situ ya. Kami nampak ada yang melambai-lambai tu. Tetapi demi kerana rakyat kita semua masuk dan melihat apa yang berlaku disitu sebenarnya. Dan selepas dibersihkan nanti kita akan fikirkan apa yang boleh diusahakan oleh rakyat disana. Buatlah sebaik mungkin Yang Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat EXCO Pendidikan adanya cara terbaik bagi menangani isu ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah ponteng sekolah. Kerajaan negeri sentiasa komited terhadap aspek pendidikan menerusi teras ke enam iaitu pendidikan orang muda Johor yang menitikberatkan pendidikan untuk pelajar yang kurang berkemampuan supaya tiada yang tercicir daripada mendapat pendidikan sempurna. Namun begitu masalah ponteng sekolah ini masih lagi belum mampu diselesaikan. Ini disebabkan masalah pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, masalah sosial dan masalah pembelajaran. Lawatan saya ke beberapa sekolah mendapat keluhan menerima keluhan daripada guru-guru masalah utama mereka adalah anak murid yang ponteng sekolah terutama murid-murid di kalangan orang Asli. Mulianya sang guru ini sanggup menjejak anak murid sehingga ke rumah. Saya mohon, Tenang memohon EXCO pendidikan dan pihak KPM mencari langkah terbaik seterusnya mendatangkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah. Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang akan meraikannya pada 16 Mei nanti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Semarak Subuh Johor. Program Semarak Subuh yang dijalankan kerajaan negeri berpotensi menjadi platform untuk umat islam di negeri ini mengeratkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama muslim. Tahniah dan terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar semoga dengan usaha Yang Amat Berhormat ini umat Islam khususnya di Johor akan terus istiqamah untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di surau dan masjid seperti solat Jumaat secara berterusan. Alhamdulillah Tenang setakat ini belum lagi ponteng, tiap-tiap minggu hadir bersama walaupun kita YB-YB perempuan, saya percaya semua telah menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Dan semarak subuh ini telah mamasuki pusingan kedua dimana ianya mendapat sambutan menggalakkan di semua tempat termasuk di surau-surau dalam kawasan ladang. Tenang mengambil inisiatif, memberi sebotol minyak masak satu kilo kepada semua jemaah yang hadir. Tiada agenda apa cuma tanda penghargaan dan terima kasih kepada jemaah yang hadir dan sedikit memberi banyak kita nampak kita beri sedikit, Yang Berhormat Datuk Speaker tetapi kepada yang rajin hadir setiap minggu bersusun botol minyak, saya tanya buat apa yang lebih-lebih ni kak, buat apa minyak-minyak lebih ini. Kita panjangkan rezeki kepada orang lain YB. Alhamdulillah. Dan Tenang menyokong agar program ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan juga Tenang memohon supaya menjadi harapan jugalah rakan-
rakan ADUN yang lain agar peruntukan kepada Program Semarak Subuh Johor ini dapat ditambah demi kebaikan semua. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jualan Kasih Johor. Alhamdulillah, Program Jualan Kasih Johor mendapat sambutan positif seluruh masyarakat pelbagai kaum. Ianya dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan asas dan keperluan harian. Program ini telah dijalankan semasa musim perayaan dan lebih tersusun tanpa beratur panjang di samping terdapat program happy hour dengan nilai RM10.00 untuk minyak dan sepapan telur. Besarlah harapan Tenang mengharapkan agar program seumpama ini dapat dijalankan seberapa kerap yang mungkin tanpa menunggu musim perayaan, Insya-Allah.
Akhirnya, saya berdoa agar amanah dan mandat yang diberikan kepada kita oleh semua rakyat akan disempurnakan dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Saya yakin bahawa kerajaan yang saya wakili adalah sebenar-benarnya kerajaan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, demi Allah untuk negara. Dan, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas usaha serta kerja keras selama ini. Sekian sahaja daripada saya mewakili suara hati masyarakat Tenang. Semoga apa yang saya sampaikan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya demi kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Tenang dengan ini menyokong. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Tenang. Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ada ejen ghost buster bolehlah jumpa dengan Tenang. Dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Selamat petang, selamat sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker atas peluang dan masa yang diberikan kepada Tangkak dalam perbahasan atas rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang dibawa oleh Yang Berhormat Kukup dan disokong oleh Dato’ Yang Berhormat Benut. Patik dan warga DUN kawasan Tangkak merafak sembah mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17 Malaysia. Patik merafak sembah menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor atas kesudian berangkat ke Dewan Negeri untuk bertitah dan merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor yang ke-15 pada hari Ahad, 9 Mei 2024.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam titah Tunku, Duli Yang Amat Mulia Tunku telah menekankan keutamaan terhadap kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kemudahan asas, kesihatan, bantuan sosial, infrastruktur, keadaan kemiskinan, keharmonian masyarakat dan banyak lagi. Keprihatin Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail menunjukkan Pemangku Sultan Johor kita yang berjiwa rakyat. Tangkak ingin mengucap tahniah kepada kerajaan negeri yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas prestasi yang cemerlang dalam menarik pelaburan ke Johor sehingga menjadikan Johor sebagai pengimport dan pengeksport terbesar di Malaysia setakat Mac tahun ini. Tambahan lagi pemilihan Johor sebagai pelaksanaan Zon Ekonomi Khas dan Zon Kewangan Khas oleh kerajaan persekutuan, Tangkak percaya Johor akan mencapai sasaran maju Johor menjelang tahun 2030. Malah, banyak lagi kita perlu usahakan bagi memastikan kejayaan impian negeri maju ini termasuk ketersediaan kemudahan dan penaiktarafan infrastruktur serta peningkatan sosioekonomi masyarakat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor telah meluahkan perasaan kekecewaan mengenai gangguan-gangguan bekalan air terutama ketika Hari Raya Aidilfitri dan Tunku bertitah supaya perkara ini tidak boleh berlaku lagi dan tindakan yang lebih keras harus diambil oleh kerajaan negeri terhadap syarikat dan agensi yang terlibat. Tunku juga menegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang
perlu dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Tangkak harap titah Pemangku Sultan Johor ini akan diingat oleh operator air di Johor terutama dalam memastikan bekalan air di Johor tidak lagi kerap sangat berlaku terputus. Tangkak telah tiga kali berturut-turut menumpukan perhatian terhadap isu-isu gangguan bekalan air semasa berbahas di Dewan yang mulia ini. Tangkak pernah bangkit isu seperti gangguan bekalan yang terlampau kerap, isu gerak-gerak kerja penggantian paip air lama yang perlahan dan sebagainya. Untuk maklumat Yang Berhormat Datuk Speaker, daerah Tangkak sekali lagi menghadapi masalah gangguan bekalan air yang tidak terancang pada 3 Mei 2024 yang lalu. Malangnya bekalan air cuma dapat dipulih sepenuhnya pada 5 Mei 2024. Genap 48 jam tiada bekalan air. Kesian warga Tangkak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak bersetuju sangat dengan cadangan dari rakan dan juga jiran kawasan saya, Yang Berhormat Gambir dalam perbahasan beliau tengah hari tadi mengenai mengganti paip-paip lama yang telah uzur di seluruh negeri Johor dengan kadar segera. Kalau menghadapi masalah kewangan, Tangkak sokong untuk membuat pinjaman supaya demi kesejahteraan Bangsa Johor dalam mendapat bekalan air tanpa sebarang gangguan. Kerana kalau ikut progress, kerja penggantian paip air lama sebelum ini Yang Berhormat Datuk Speaker, sampai bilakah paip-paip lama ini dapat habis diganti? Mengikut Buku Laporan Maju Johor Edisi Kedua yang telah dibentang di atas meja, muka surat 116 pada tahun 2023 tahun lepas, cuma sepanjang 140 kilometer paip air dapat diganti. Dan pada Persidangan Dewan pada bulan Disember yang lalu, Dewan ini telah meluluskan sejumlah RM165 juta bagi pelaksanaan projek penggantian 206 kilometer paip lama di negeri Johor. Dengan lebih kurang 200 kilometer sahaja dapat diganti dalam tempoh setahun. Tangkak ingin ambil contoh dari sahabat saya, Yang Berhormat Sri Medan mengatakan di daerah Batu Pahat kira-kira terdapat 1,200 kilometer paip lama, betul? 1,200 kilometer paip lama bayangkan Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau di daerah Batu Pahat sahaja mungkin ikut progress sebelum ini, perlu ambil masa 6 tahun untuk selesai ke semua 1,200 kilometer paip lama diganti. Kebetulan lah akan siap pada tahun 2030. Tahniah Yang Berhormat Sri Medan. Tahun 2030 Johor jadi negeri maju, daerah Batu Pahat dapat paip air semua pun baru. Tapi..,
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak ucap terima kasih.
Sama-sama. Yang Berhormat Datuk Speaker, itu untuk Batu Pahat, 2030, negeri maju, paip air baru, tapi bagaimana pula untuk daerah Tangkak, daerah Muar, daerah Johor Bahru dan tempat-tempat lain di negeri Johor? Tak akan dah masuk tahun 2030 Johor jadi negeri maju, tapi paip air uzur. Negeri maju paip air uzur. Oleh itu, masalah ini dihadapi oleh hampir semua rakan-rakan Yang Berhormat yang berada di Dewan Yang Mulia ini. Sejak semalam sampai hari ini, baru hari kedua kita bahas. Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat Gambir dan Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Bekok, Yang Berhormat Permas dan hari-hari akan datang belum tahu mana lagi. Sampai bilakah kita nak menghadapi masalah yang sama? Dan Yang Berhormat Kahang, tadi tengah hari saya pun terkejut naik angin, disebabkan isu air bersih juga. Oleh itu, Tangkak mencadang, meminta sebuah jawatankuasa khas untuk selesai masalah kerja-kerja penggantian paip air lama di tubuhkan oleh Yang Berhormat Datuk Speaker di bawah Dewan Negeri Johor atau pun ditubuhkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di bawah kerajaan Johor bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan sebelum tahun 2030. Tangkak juga ingin mohon jasa baik kerajaan untuk membina satu tangki air di kawasan Jalan Sialang, Tangkak, bukan saja rakan saya Gambir menghadapi isu tiada air perlu tangki air, Tangkak lagi perlu. Sebab, kawasan Jalan Sialang, Tangkak tersebut adalah sempadan Johor dan Melaka yang merupakan tempat penghujung paip air. Jadi, setiap kali kalau berlaku gangguan bekalan air, kawasan tersebutlah yang paling awal tiada bekalan dan paling lewat dapat bekalan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan pemeliharaan sumber air pula, bagi memastikan sumber air yang sedia ada cukup untuk menampung permintaan yang semakin meningkat pada masa yang akan datang. Kita haruslah bermula memikirkan jalan keluar bermula sekarang. Tangkak mencadangkan pengumpulan air hujan patut dilaksanakan di seluruh Johor. Pihak Berkuasa Tempatan boleh mensyaratkan kelengkapan sistem pengumpulan air hujan dalam setiap permohonan kebenaran merancang dan menguatkuasakan, ini penting, penguatkuasaan dijalankan secara berterusan supaya sistem tersebut tidak diusik oleh penghuni. Air hujan yang terkumpul ini boleh diguna untuk pembersihan, untuk cuci kereta, untuk menyiram tanaman dan sebagainya. Dengan penggunaan air hujan, pengguna dipercayai dapat menjimatkan daripada bil-bil air bulanan.
Bagi sektor perindustrian, pekilang juga digalakkan mengguna air hujan dalam pengoperasian mereka. Tangkak menyambut baik cadangan dari Yang Berhormat Benut dalam perbahasan beliau pagi semalam. Negeri Johor kita bukan hanya perlu memegang lesen untuk fasiliti dan aset-aset air sahaja. Tetapi, kita juga perlu memiliki lesen pengurusan air. Tangkak sokong penuh cadangan dari Yang Berhormat Benut tersebut. Tangkak juga setuju bahawa sektor industri dibekalkan dengan air industri atau dipanggil air tidak terawat dan bukannya seperti sekarang dibekalkan dengan air terawat dengan kos yang lebih tinggi. Ianya adalah satu pembaziran apabila sektor industri menggunakan air terawat untuk mencuci mesin, cuci lantai dan cuci kilang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Green Deal yang diumumkan pada November 2023 telah meletakkan hasrat untuk mencapai neutral carbon pada tahun 2050. Adakah garis masa telah disediakan oleh kerajaan? Jika ya, harap dapat dikongsikan dalam Dewan yang mulia ini. Menurut Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 4 Hingga Bilangan 19 Tahun 2024 yang telah dibentangkan, sejumlah wang RM93 juta telah diguna untuk pembayaran bil utiliti di 16 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor. Antaranya, purata ada 60% adalah untuk membayar bil elektrik dan bakinya ada untuk bil air, bil telefon, bil internet dan juga bil pos. Perbelanjaan utiliti di semua Pihak Berkuasa Tempatan dan bangunan-bangunan kerajaan menunjukkan trend meningkat setiap tahun. Kalau kita tidak beralih ke tenaga yang boleh baru, yang lebih mesra alam, sudah tentu beban perbelanjaan kerajaan akan menambah dan Johor Green Deal terpaksa makan masa yang lebih panjang untuk dicapai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak tertarik oleh jawapan dari Yang Berhormat Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya dalam sesi soal jawab semalam berkaitan dengan penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama Negeri Johor. Syabas diucap kepada Yang Berhormat EXCO dan juga kerajaan atas usaha yang bijaksana ini bagi memperkukuhkan hubungan antara pelbagai komuniti etnik dan kebudayaan, seterusnya dijadikan sebagai satu platform untuk mendamping dan mendidik penganut-penganut antara agama di Johor. Tangkak berpendapat Jawatankuasa Keharmonian Negeri Johor ini serupa dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam di Selangor, Unit Hal Ehwal Bukan Islam di Negeri Sembilan dan Unit Hal Ehwal Selain Islam di Sarawak. Jawatankuasa ini diminta menjemput semua pemimpin dari semua agama sebagai Ahli Jawatankuasa terutama Ahli-Ahli Jawatankuasa dari Majlis Perundangan Agama Buddha, Kristian, Hindi, Sikh dan Tao Johor.
Jawatankuasa keharmonian ini juga harus diberi kuasa untuk berhak memberi ulasan dalam meluluskan permohonan penganjuran aktiviti-aktiviti keagamaan bukan Islam di seluruh Johor supaya kesemua aktiviti agama selain Islam yang dijalankan di Johor tidak meruntuhkan keharmonian bermasyarakat di Johor seperti yang dititah oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini dalam satu tahun yang lalu telah banyak berlaku kes-kes yang berunsur jenayah seperti yang paling banyak kes penipuan, berlaku di rumah ibadat selain Islam di negeri Johor dan juga di Malaysia. Tangkak berharap Jawatankuasa
Keharmonian Negeri Johor Antara Penganut Agama ini dapat berjaya menghentikan kes-kes jenayah yang bertimbul di kalangan penganut agama selain Islam terus berlaku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang terakhir yang Tangkak ingin bawa pada hari ini, Tahun Melawat Johor 2026 akan berlangsung dalam mungkin 18 bulan, lebih kurang 18 bulan lagi. Tapi kita masih tidak nampak banyak perubahan dari segi persediaan secara besar-besaran terhadap industri pelancongan di Johor terutama bagi kawasan Johor Utara. Walaupun Johor Utara tidak sama dengan kawasan selatan yang mempunyai tempat pelancongan yang begitu mega seperti Legoland, Puteri Harbor, ada Tanjung Piai. Kami di utara juga tidak mempunyai pusat membeli belah yang mega yang besar, lagi tidak ada hotel penginapan yang begitu mewah. Tapi, Tangkak percaya Yang Berhormat Datuk Speaker, bukannya semua pelancong yang datang ke Johor nanti cuma berminat melawat ke fasiliti pelancongan yang mega dan mewah sahaja. Tangkak berpendapat kita tidak boleh lupa mereka yang datang ke Johor yang ingin mencipta rasa suasana alam semula jadi, yang untuk pergi suasana perasaan kehidupan di kawasan luar bandar dan perkampungan, di pekan-pekan yang bersejarah atau mereka nak memancing di parit dan sungai, mereka nak melawat ke kebun-kebun tanaman, ke dusun-dusun buah-buahan kerana bagi pelancong kalau mereka yang datang dari bandar besar, Tangkak rasa mereka sudah bosanlah dengan shopping pusat membeli belah yang besar, hotel yang mewah sebab mungkin pusat membeli belah dan hotel di negara mereka lagi besar, lagi mewah daripada negeri Johor.
Oleh itu, kita tidak boleh cuma meletak tumpuan untuk menjaga produk pelancongan di bandar raya di Johor Selatan sahaja. Tourism Johor diminta memberi lebih banyak sumber kepada kawasan-kawasan di utara termasuklah menyelamatkan industri penghotelan, banyak hotel-hotel kecil, sederhana, boleh kata dia orang masih menghadapi masa yang paling susah selepas penyakit COVID-19.
Membantulah penginap, penginapan homestay-homestay desa, homestay-homestay kampung, bagi sedikit bantuan mereka untuk menjalankan kerja-kerja ubahsuai.
Tangkak juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada Pejabat Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Tangkak serta Jawatankuasa Pelancongan Daerah Tangkak dalam usaha bersama mereka telah menyediakan bahan-bahan promosi produk pelancongan setempat di seluruh daerah Tangkak. Dengan publisiti dibuat di papan tanda gergasi, di media sosial sehingga menyediakan maklumat yang terperinci berkaitan dengan industri pelancongan di daerah dengan kod QR yang boleh diimbas oleh para pelancong.
Tangkak berharap Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Johor boleh mula membuat sebegini dan harap pihak negeri menyalurkan bantuan dan juga sumber bagi menjayakan kerja-kerja persediaan kemudahan pelancong serta projek-projek penaiktarafan kemudahan pelancongan perlu dilaksanakan dengan lebih awal. Jangan tunggu sampai sudah masuk 1 Januari 2026 nanti. Apabila pelancong sudah sampai ke Johor tapi kerja-kerja naik taraf di tempat pelancongan itu masih belum siap, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Tangkak sekali lagi mengesyorkan supaya bandar Tangkak yang digelar Gerbang Pintu Utara Johor dijadikan sebagai tapak Pusat Informasi Utama Pelancongan Negeri Johor supaya pelancong yang masuk ke Johor melalui Lebuh Raya Utara-Selatan itu boleh mendapat kesemua maklumat berkaitan pelancongan seluruh negeri Johor di Pusat Informasi Utama tersebut.
Akhir kata, Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas, Zon Kewangan Khas, Tahun Melawat Johor pada 2026, untuk menjayakan, Maju Johor pada tahun 2030, untuk menjayakan Johor Green Deal pada tahun 2050, kita perlu mengambil kira semua aspek dari pelbagai sudut. Dan sudah tentu kita sebagai Wakil Rakyat yang berada di
Dewan yang mulia ini, marilah kita mengetepikan perbezaan fahaman politik kita. Memberilah sokongan sepenuhnya kita kepada Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan perpaduan persekutuan supaya Johor terus cemerlang, Malaysia terus maju. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tangkak mohon menyokong.
Terima kasih Tangkak, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan saya tangguhkan sehingga esok 14 Mei, jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.11 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman
Koordinator
Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Pembantu Penerbitan
Puan Malina binti Mohd Nasir Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said (K) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Siti Rojimah binti abd. Razak Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Junaidah binti Paing Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Norliza binti Md Aris Puan Norhafizah binti Osman
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 13 Mei 2024
VERBATIM