Johor · 15 May 2024
3rd session, 1st meeting · 146 turns · 40,829 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pepatah Arab mengatakan “kepalsuan bertahan satu jam, kebenaran bertahan sampai akhir zaman”. Pepatah ini tepat sekali. Saya yakin ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat masih ingat ketika hadir di majlis meraikan hari kelahiran Tun Musa Hitam di Hotel Golf Resort, Forest City yang dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Di dalam ucapannya, Tun Musa Hitam berkata ada dua cabaran kuasa. Pertama, bila berkuasa kita susah dan liat sekali untuk mewariskan kuasa atau kepimpinan. Dan, kedua dan ini paling penting. Sebelum dapat kuasa, kita berlagak pandai. Semua masalah kita kata kita boleh selesaikan. Kita menjadi raja formula. Tetapi bila diberi kuasa kita gagal melaksanakannya. Formula kita menjadi palsu, kepandaian kita juga rupanya palsu dan kepalsuan itu pasti akan bertahan hanya satu jam sahaja. Rakyat akan menolak kepalsuan itu. Sebab itulah kita berbangga Yang Amat Berhormat Menteri Besar sering turun ke bawah, sering melihat apa yang berlaku di akar umbi. Untuk melihat apa yang benar. Sebab itu bukan tujuannya untuk mencari siapa yang salah tetapi apa yang salah. Dan, inilah sebenarnya yang diperlukan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat oleh itu, ingatan saya berwaspadalah. Terima kasih.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Pemanis nombor 1.
Mohon kerajaan negeri nyatakan apakah perancangan dan persiapan bagi menerima kehadiran pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026 nanti? Adakah peruntukan sebarang insentif bagi menggalakkan pemain-pemain industri dalam bidang pelancongan meningkatkan kualiti dan menaik taraf kemudahan sedia ada?
Dijemput Yang Berhormat Tiram.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 2.
Seperti yang kita semua maklum, Tahun Melawat Johor akan diadakan pada tahun 2026 dan kerajaan mensasarkan 12 juta pelancong akan datang ke negeri Johor. Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mewujudkan lebih banyak lokasi pelancongan di dalam negeri Johor?
Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5, nombor 3.
Johor dikenali sebagai “Passby/Transit City”. Pelancong/pengunjung melalui Singapura/LT Changi hanya melalui Johor untuk ke Melaka, Wilayah Persekutuan Selangor, Pahang dan selainnya. Adakah perancangan kerajaan untuk transform supaya pelancong antarabangsa dan Singapura menjadikan Johor destinasi bermalam atau tinggal lebih dari sehari.
Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 4.
Nyatakan apakah usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan dan menaik taraf sektor pelancongan dalam negeri Johor memandangkan ramai rakyat Malaysia kini lebih gemar melancong ke negara jiran sebagaimana dilaporkan 20,000 orang sehari jumlah pelawat Malaysia mengunjungi Hatyai, Thailand pada hujung minggu.
Dijemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.
Minta kerajaan negeri menyenaraikan projek-projek penambahbaikan Infrastruktur Pelancongan yang telah diumumkan pada Belanjawan Johor 2024 serta status projek-projek tersebut.
Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.
Apakah status perkembangan untuk memperbadankan Tourism Johor supaya menjadi sebuah agensi yang lebih kompetensi dalam sektor pelancongan negeri.
Dijemput Yang Berhormat Bentayan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.
Apakah strategi promosi yang dirancang kerajaan negeri untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2026?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Pemanis, Tiram, Kota Iskandar, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Johor Jaya dan Bentayan atas soalan yang diajukan berkaitan perancangan persiapan dan strategi promosi bagi menerima kehadiran pelancong-pelancong sempena Tahun Melawat Johor yang bakal diadakan pada tahun 2026, Insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang semua sedia maklum, Portfolio Pelancongan ini baru sahaja berpindah tangan. Di atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Pengurusan Portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Yang Berhormat Tenggaroh, kini telah diamanahkan kepada saya selaku Menteri Besar. Perkara ini menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam mentransformasikan sektor pelancongan negeri Johor yang Insya-Allah akan memberi manfaat bukan hanya kepada para pelancong
tetapi juga kepada Bangsa Johor secara keseluruhan. Walaupun begitu, Yang Berhormat Tenggaroh yang kini memegang Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor akan tetap terus memberi sokongan dan bantuan kepada kerajaan negeri dalam membantu saya memikul tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri mendapat pelbagai maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai keadaan sektor pelancongan di negeri Johor. Kita menerima maklum balas daripada pemegang-pemegang taruh seperti agensi-agensi pelancongan, syarikat-syarikat penerbangan, persatuan hotel, e-hailing dan minggu ini daripada wakil-wakil rakyat di dalam sidang Dewan yang mulia ini. Malah kita juga menerima maklum balas daripada rakyat melalui platform-platform sosial media. Baru-baru ini tular satu video di mana, di media sosial tular video yang mengatakan Johor tidak ada tempat yang menarik untuk dilawati dan untuk berjalan-jalan. Johor boring, Johor banyak tempat yang tutup, Johor Bahru is a scam city. Ini antara perkara-perkara yang tular.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita menerima semua pandangan ini dengan hati yang terbuka. Dan, suka juga saya akan kongsikan strategi kerajaan negeri untuk memperhebatkan sektor pelancongan di negeri Johor berdasarkan maklum balas-maklum balas yang kita terima. Sebelum saya berkongsi strategi, izinkan saya terdahulu berkongsi bahawa sebenarnya pada hakikatnya terdapat pelbagai khazanah dan pusat-pusat pelancongan yang berpotensi di negeri Johor yang kita semua boleh banggakan. Contohnya, kita mempunyai 6 Taman-Taman Negara termasuk Taman Negara Endau-Rompin, Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar. Kita juga mempunyai taman-taman tema seperti Legoland, Desaru Coast dan Austin Waterpark. Kita mempunyai muzium-muzium dan galeri-galeri. Kita mempunyai pusat-pusat agrotourism. Kita mempunyai kawasan-kawasan agropelancongan. Kita mempunyai pulau-pulau yang bertaraf antarabangsa, bertaraf dunia. Kita juga sebenarnya mempunyai pelbagai tempat yang boleh dilawati di Johor Bahru ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jelas, terang lagi bersuluh. Kita mempunyai pelbagai produk-produk pelancongan. Namun begitu, izinkan saya bertanya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, adakah tempat-tempat yang saya kongsikan tadi itu mencapai kehendak dan ekspektasi pelancong. Adakah kemudahan asas seperti tandas, medan selera, surau di tempat-tempat tersebut memuaskan? Adakah parking yang disediakan mencukupi? Adakah laluan yang disediakan mesra OKU? Adakah sistem tiket kita mesra pengguna? Adakah tempat-tempat tarikan pelancong kita pada hari ini hanya indah khabar daripada rupa?
Yang Berhormat Datuk Speaker pun selalu ke Singapura. Ke luar negara. Adakah produk-produk pelancongan kita mencapai tahap yang memuaskan? Saya yakin jika kita menjawab semua persoalan-persoalan itu dengan jujur dan dengan hati yang terbuka, jawapannya ialah belum lagi. Berdasarkan Bengkel Pemerkasaan Pelancongan yang baru kita adakan pada bulan lepas, kita juga mendapat maklum balas berkenaan ke saling hubungan pengangkutan awam yang tidak memuaskan, laluan jalan raya yang tidak mesra pelancong dan masalah infrastruktur jalur lebar di kawasan-kawasan pelancongan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun kita mempunyai pelbagai produk pelancongan namun, bagaimana kita hendak promosikan kalau ia tidak berada pada tahap yang memuaskan dan membanggakan. Disebabkan itulah kerajaan negeri bercadang menggariskan dua strategi utama demi menjayakan agenda Tahun Melawat Johor 2026. Pertamanya kita akan menaik taraf infrastruktur-infrastruktur pelancongan yang sedia ada. Dan, keduanya apabila infra ini telah dinaik taraf, kita akan menggerakkan dan memperhebatkan promosi semua produk-produk pelancongan ini. Apabila kita mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik yang berada pada tahap yang memuaskan, barulah pelancong-pelancong akan tinggal di Johor lebih daripada satu malam, kerana
terdapat pelbagai tarikan dan aktiviti untuk dilakukan. Dan tarikan juga aktiviti tersebut dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada strategi pertama, tumpuan utama diberikan kepada menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada. Melalui Belanjawan Johor 2024, sebanyak RM67.6 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, terdapat 10 projek pembangunan infra pelancongan yang akan siap pada tahun ini. Pertama, menaik taraf kemudahan dan pembinaan baharu di Kompleks Pelawat Air Terjun Gunung Ledang. Kedua, menaik taraf Laman Tiba di Taman Negara Johor Tanjung Piai. Ketiga, menaik taraf kemudahan infra penginapan dan kompleks pelawat di Taman Negara Johor Endau Rompin, Kampung Peta. Keempat, menaik taraf kemudahan sistem pembentungan di kawasan penginapan dan kawasan pembinaan Trail Head di Taman Negara Johor Gunung Ledang. Kelima, menaik taraf penanda arah baharu di setiap Taman Negara Johor. Keenam, menaik taraf fasiliti sedia ada di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Segamat dan Gunung Berlumut Kluang. Ketujuh, pembinaan trek basikal gunung atau mountain bike di Hutan Simpan Gunung Pulai, Kulai untuk penganjuran sukan bertaraf antarabangsa. Kelapan, menaik taraf Zoo Johor. Kesembilan, menaik taraf Bangunan Muzium Tokoh. Kesepuluh, menaik taraf kemudahan asas dan infra pantai Air Papan, pembangunan jeti Jabatan Laut atau floating jetty Bukit Selantai dan Pulau Mawar, Mersing.
Pada tahun 2025 pula, empat projek Insya-Allah bakal siap. Pertama, Dataran Tasik Bandar Penawar, Kota Tinggi. Kedua, menaik taraf Pantai Teluk Mahkota dan pembangunan River Cruise di Kota Tinggi. Ketiga, menaik taraf Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru. Keempat, menaik taraf tapak perkhemahan, taman permainan dan kolam mandi di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru dan pembinaan perkampungan seramik di Pasir Gudang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya sebutkan tadi, strategi kedua pula, setelah menaik taraf dan membaik pulih kebanyakan pusat-pusat pelancongan barulah kerajaan negeri akan mempromosikan produk-produk ini. Sehubungan itu, enam inisiatif pemasaran dan promosi akan dilaksanakan. Pertama, memperhebatkan kempen promosi pelancongan dan pengiklanan pelancongan di dalam negeri dan keluar negara. Kedua, penganjuran acara-cara pelancongan bertaraf antarabangsa. Ketiga, meningkatkan penyertaan siri promosi pelancongan dalam dan luar negara. Keempat, pelaksanaan, maaf, keempat, pelaksanaan bantuan insentif kepada pemain industri pelancongan. Kelima, memberi penekanan kepada segmen pelancongan fokus. Keenam, penganjuran program fun trip yang lebih market focus. Segala strategi ini akan dilaksanakan dan diterajui oleh kerajaan negeri melalui Tourism Johor dengan kerjasama pemain-pemain industri pelancongan di negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memperkasakan lagi gerak kerja Tourism Johor, seperti apa yang disebut oleh Johor Jaya semalam, kerajaan negeri bercadang untuk mengkorporatkan Tourism Johor pada tahun ini. Pengkorporatan ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana negeri lain seperti Pulau Pinang dan juga Selangor telah melaksanakan agenda ini. Perkara ini bertujuan untuk memastikan Tourism Johor kekal berdaya saing dan mempunyai sumber kewangan tersendiri. Ia juga akan membenarkan Tourism Johor mengguna pakai struktur korporat dalam melantik golongan profesional dalam sektor pelancongan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor seperti yang saya sebutkan tadi, mempunyai potensi yang cukup besar dalam sektor pelancongan. Dengan keindahan alam semulajadi, kekayaan warisan budaya dan pelbagai tarikan pelancongan yang lain, Johor mampu menawarkan pelbagai pilihan buat pelancong-pelancong dan pengunjung. Saya amat yakin
jika kedua-dua strategi yang telah digariskan dapat dilaksanakan dengan baik dan tuntas, negeri Johor mampu menjadi destinasi pelancongan utama di negara. Dan ini pastinya akan memberikan limpahan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor, Insya-Allah. Marilah kita pecahkan ruyung, agar sagu, marilah bersama kita pecahkan ruyung, agar sagunya dapat kita kongsikan untuk semua. Sekian, Yang Berhormat Speaker.
Saya jemput Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas jawapan yang telah diberikan. Pelancongan ini merupakan satu perkara yang amat penting sebenarnya terutamanya kepada negeri Johor kerana kita adalah pintu masuk utama daripada sebelah selatan. Jadi, soal berkaitan dengan pelancongan ni bila portfolio ini diserahkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya kira ini akan dapat memperkasakan lagi sebenarnya urusan-urusan berkaitan dengan pelancongan.
Tadi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada sebut tentang aduan rakyat, teguran daripada rakyat sebenarnya berkaitan dengan pelancongan ini yang saya kira kita perlu ambil sebagai satu pandangan yang baik untuk kebaikan negeri Johor. Contoh, disebutkan dalam, dalam komentar tersebut dikatakan di Johor hari ini, bangunan KOMTAR yang dulu menempatkan pusat beli belah yang boleh dihadiri oleh rakyat biasa tetapi kini dikatakan dah jadi pasar raya untuk orang-orang kayangan. Dulu katanya ada Plaza Seni, meriah, banyak program seni kat dalam tu, tapi hari ini digantikan dengan tempat letak kereta. Kesenian tu tak tahu dah berpusat di mana. Kemudian kita ada kedai makanan yang sedap dulu tapi kini banyak cafe hipster yang memenuhi bandar Johor Bahru. Ada banyak lagi perkara yang disentuh dan disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi, banyak inisiatif dan insentif berpakej yang disediakan untuk negeri Johor untuk menghadapi Tahun Melawat Johor 2026 kelak. Cuma, saya nak tanya dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar apakah jaminan yang boleh diberikan oleh kerajaan setelah kita sediakan insentif, inisiatif dan pakej-pakej yang baik ini setelah kita menghadapi nanti pada tahun 2026 untuk Tahun Melawat Johor nanti persediaan itu benar-benar dapat memenuhi keperluan dan juga kehendak rakyat terutamanya dan pelancong-pelancong yang datang nanti akan memberikan gambaran bahawa Johor ini adalah sebuah negeri yang terbaik untuk mereka datang, untuk mereka lawati nanti. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Pemanis atas soalan tentang bagaimana kita nak pastikan bahawa produk-produk pelancongan ini benar-benar mendapat sambutan yang baik daripada pelancong-pelancong. Jadi, sebab itu saya kongsikan tadi Yang Berhormat, bahawa kita sedang berusaha dengan keras untuk menaik taraf produk-produk pelancongan sedia ada dan saya mohon maaf bahawa standard yang kita tetapkan perlulah bertaraf antarabangsa, kerana sasarannya 12 juta pelancong, Yang Berhormat Pemanis. Kalau kita pecahkan sasaran kita yang 12 juta itu majoritinya datang bukan sahaja daripada dalam negeri dan dalam negara tetapi sasaran kita juga adalah mereka yang berada di Singapura, 6 juta rakyat di sana. Dan juga pelancong-pelancong yang masuk ke Singapura, kita nak tarik mereka yang datang ke Singapura untuk menjengah kita di Johor. Sebab itu kualiti produk-produk pelancongan ini perlu bertaraf antarabangsa. Harga kita boleh bincang, macam mana negara-negara maju yang lain, untuk locals ada harga lain, untuk mereka yang datang daripada luar negara harganya mungkin lain. Itu SOP yang biasa Yang Berhormat Datuk Speaker tengok di luar negara kan Datuk Speaker? Ada SOP begitukan, untuk OKU harga lain, untuk pelajar ada harga lain dan sebagainya. Jadi, itu yang saya cakap strategi utama Yang Berhormat Pemanis adalah untuk menaik taraf produk-produk ini supaya kita semua boleh bangga dengan produk-produk pelancongan.
Saya bagi contoh di Johor dah ada. Stadium Sultan Ibrahim. Dah memang ada pakej-pakej di mana pelancong-pelancong boleh pergi melawat Stadium Sultan Ibrahim dan baru-baru ini saya dan keluarga, Yang Berhormat Datuk Speaker pergi tengok kedai JDT. Saya masuk, saya rasa bangga Yang Berhormat Datuk Speaker, melihat tahap kualiti kedai tersebut. Memang kita tahu stadium di Johor ini bertaraf antarabangsa, dia punya tahap boleh kita samakan dengan Barcelona eh. Jadi, penanda arasnya Yang Berhormat Pemanis, memang tinggi dan itulah hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan produk-produk pelancongan. Dari segi contoh yang diberikan tentang KOMTAR tadi di JB, itupun kita dah bincang dengan peringkat Datuk Bandar, Dato’ Jafni, MBJB bersama dengan JCorp untuk kita merancang di kawasan Ibrahim International Business District selain dari kita tengok dari segi sektor perniagaan dan keusahawanan, sektor pelancongan juga akan diperhebat, diperhebatkan di kawasan CBD tersebut, Insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Amat Berhormat, di Johor ni kalau boleh kita hentikanlah amalan restoran ataupun kedai-kedai makan, toilet paper tu jadi tissue paper ye. Toilet paper yang bergulung tu dia letak atas meja jadi tissue paper. Sebab saya dulu pernah bawa kawan saya Profesor dari UK, makan, dia terkejut toilet paper, jadi tissue paper, dia buka panjang-panjang dia suruh ambil gambar, dia kata dia nak tunjuk kat UK, orang Malaysia, toilet paper jadi tissue paper. Kena hentikan amalan ini. Pelancong ketawakan kita, malu kita. (Ketawa). Jemput Parit Yaani.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk...
Lepas Parit Yaani, Tiram, lepas tu saya jemput Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas jawapan mengenai inisiatif Kerajaan Negeri Johor terhadap sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Soalan tambahan saya, mohon Yang Amat Berhormat Dato’ menyatakan apakah perancangan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor untuk kita mempelajari kejayaan agenda pelancongan ini di negeri ataupun di negara-negara lain supaya gerak kerja kerajaan negeri ini dapat ke tahap yang lebih baik ataupun memuaskan.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani atas soalan tentang pembelajaran kita daripada negeri-negeri lain yang telah mencipta nama dari segi pelancongan antaranya ialah negeri Sarawak dan juga negeri Melaka. Negeri Sarawak, Insya-Allah, Yang Berhormat Datuk Speaker, kita akan ke sana pada bulan Jun tahun ini. Nak belajar macam mana mereka menjayakan muzik festival, yang mendapat sambutan antarabangsa bukan setahun, bukan dua tahun tetapi sudah 27 tahun. Dan, saya kira sudah tiba masanya Yang Berhormat Datuk Speaker, kita juga mempunyai program yang bertaraf antarabangsa seperti itu. Sebab itu kita berhasrat pergi ke Sarawak bagi mempelajari macam mana mereka menjayakan program tersebut.
Kita juga sudah dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Melaka yang tahun ini telah melancarkan Tahun Melawat Melaka. Malah, pada tahun depan tak salah saya mereka akan menjadi tuan rumah bagi program Hari Pelancongan Dunia 2025. Mereka menjadi tuan rumah untuk negara, Yang Berhormat Datuk Speaker. Jadi, saya rasa itu 2 negeri yang kita akan pelajari tahun ini dan pada masa sama untuk memperhebatkan lagi hubungan dan juga pembelajaran kita akan ke Indonesia juga. Kerana selain daripada Singapura, Indonesia juga mempunyai nilai atau pun ramai pelancong yang datang ke Johor melalui Indonesia. Jadi, Indonesia adalah salah satu negara yang akan kita lawati untuk belajar juga, Yang Berhormat Parit Yaani. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Jemput, Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas penerangan yang cukup panjang lebar berkaitan dengan perancangan, strategi dan sebagainya menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Cuma Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor saya mohon agar dilihat juga keperluan untuk menaiktaraf kawasan eko-pelancongan di Kampung Kongkong Laut yang pernah, yang telah diperkenalkan oleh mantan menteri besar, Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin. Saya tahu potensinya ada di sana. 2 tahun saya bawa isu ini, tapi nampaknya belum ada sebarang bantuan daripada kerajaan negeri, mungkin bila pelancongan di bawah portfolio Yang Amat Berhormat, ada sesuatulah untuk masyarakat di Kampung Kongkong Laut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa mempunyai potensi besar dalam perkembangan industri pelancongan negara. Justeru, apakah perancangan kerajaan negeri dalam menganjurkan acara-acara pelancongan bertaraf antarabangsa ini yang secara tidak langsung akan mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tiram. Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi program-program yang kita akan laksanakan tahun ini dan tahun depan untuk menarik lebih ramai pelancong hadir ke Johor yang bertaraf antarabangsa. Pertamanya, Insya-Allah tahun ini akan ada satu International Cycling Event yang akan kita laksanakan bersama pihak Maybank. Ini acara sulung yang diadakan dengan mana-mana pihak bank. Dan macam mana kita tengok dekat KL ada Standard Chartered Run, dekat Johor Insya-Allah tahun ini bulan 9 tak salah akan ada Cycling Event bersama Maybank.
Kita juga akan meneruskan program-program seperti Festival Layang-Layang, Ironman Triton di Desaru, Ledang Climaton, Majestic Johor Festival, Sparton Race, World Chefs Champsionship, Johor Panti Bird Race, Ombak Festival, Aronman Challenge, Mersing Endurance Challenge, Expo Summit Durian dan Agroworld Malaysia dan juga Festival Nusantara Pengerang.
Untuk tahun depan pula, kita bercadang selain daripada program-program yang saya sebutkan tadi, akan ada tambahan seperti Dragon Boat Festival, ASEAN Tourism Forum dan Desaru Bike Week. So, itu antara cadangan-cadangannya, Yang Berhormat Ulu Tiram. Jadi kalau ada pandangan-pandangan lain, masih bagi masa untuk kita cadangkan lagi program-program pada tahun 2026 sempena Tahun Melawat Johor. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Saya jemput, Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri Johor atas usaha-usaha yang baik untuk meningkatkan lagi taraf pelancongan negeri Johor. Soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar adalah berkenaan dengan infrastruktur digital kerana kalau kita nak bercerita tentang pelancongan ini, kita perlu pastikan dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, user experience daripada mula sehingga ke hujung itu, adalah user experience yang terbaik. Supaya rakyat di luar sana, di luar dari negeri Johor berminat untuk ke Johor.
Tapi apabila saya buka ke website Tourism Johor. Saya rasa Yang Berhormat-Yang Berhormat semua boleh cuba dalam handphone masing-masing atau pun kalau ada laptop, satunya sangat lagging. Jadi sangat susah untuk kita tengok website Tourism tersebut. Kedua, kalau kita buka website Tourism, dan kita bandingkan website Tourism Johor dengan website-website tourism yang lain, walau pun info itu ada tetapi ianya tidak berfungsi sebagai one-stop center. Saya ambil contoh, sebagai contohnya website Tourism Iceland yang telah
diiktiraf sebagai website tourism terbaik dan saya rasa benda ini tidak mustahil untuk kita juga. Kalau buka website Iceland, semuanya ada dalam ini sebagai one-stop center. Dia promosikan juga syarikat-syarikat atau pun agensi-agensi tourism dalam negaranya. Boleh buat booking dalam tu juga. Ada apa-apa diskaun dalam tu. Atau pun kalau rakyat di luar sana, kalau kita lihat Tourism Thailand, boleh buat rebate. Maknanya kalau dia pergi melancong ke Thailand, kemudian balik dia boleh collect pointer apa yang dia dapat. Jadi semuanya saya fikir adalah satu user experience yang bagus untuk kita contohi menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Sekiranya kerajaan negeri ada apa perancangan untuk menaiktaraf bukan sahaja infrastruktur bangunan tetapi juga infrastruktur digital negeri. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa atas cadangan dan persoalan yang baik itu. Sebenarnya masa bengkel pemerkasaan Tourism Johor bersama penggiat-penggiat industri, perkara itu juga dibincangkan. Dan di peringkat kerajaan persekutuan sudah ada dana untuk membantu memperkasakan pendigitalan tourism johor. So, sekarang ini kita sedang bekerjasama erat terutama MOTAC untuk menjayakan pendigitalan yang disebut oleh Puteri Wangsa. Contoh-contoh yang baik yang diberikan tadi seperti Iceland, Thailand saya ucap terima kasih dan kita sambut baik dan Insya-Allah akan menjadi penanda aras untuk negeri Johor, Insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya, saya bagi jugalah pada penjaga sempadan untuk tanya soalan. Sebab kalau ditutup sempadan, pelancong tak boleh masuk pula. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas penjelasan yang diberikan. Tadi Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar ada menyatakan kita ada taman tema, ada pulau-pulau dan tidak lupa juga Yang Amat Berhormat, kita ada padang-padang golf bertaraf antarabangsa sebagai contoh di Forest City. Jadi kita nak menjernihkan nama Forest City.
Terima kasih kerana eco-tourism Kampung Sungai Melayu pun ada disebut oleh Yang Amat Berhormat. Soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, sejauh mana kerajaan negeri serius dalam membantu mengekalkan sumber semulajadi seperti Kampung Sungai Melayu. Kita ada identiti dia melibatkan sumber air dan bakau yang boleh kita menggunakan pengiktirafan antarabangsa. Saya bimbang apabila kita terlepas pandang dari segi peranan PBT dan pihak pemaju-pemaju yang mengusahakan pembangunan, kita terlupa tentang alam semulajadi. Jadi supaya apa yang kita lakukan ini akhirnya bukan berlaku dalam, bukan popular dalam sekelip mata. Kita nak berpanjangan. Jadi apa cadangan kerajaan negeri tentang keseriusan untuk mengekalkan alam semulajadi menjadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat penjaga sempadan. Untuk eco-tourism sebenarnya ini adalah sebenarnya aset utama negara atau pun negeri Johor. Seperti saya sebutkan tadi ada 6 taman negara. Dan saya tengok di kawasan Yang Berhormat Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Kampung Sungai Melayu antara kawasan eco-tourism yang selalu dilawati oleh orang ramai. Sebab itu, kita memperuntukkan beberapa juta ringgit untuk menaiktaraf kawasan tersebut dan Insya-Allah kita akan lihat perkembangannya pada hari Ahad ini, apabila kita membuat sesi lawatan kerja di sana. Tetapi apa yang saya hendak katakan Yang Berhormat ialah kerja-kerja nak memastikan alam sekitar ini terus dibuat adalah kerjasama semua pihak termasuk Pejabat-pejabat Daerah, PBT-PBT dan sebagainya. Dan ia adalah langkah yang berterusan.
Baru semalam Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berjumpa dengan satu syarikat antarabangsa Lush yang dia lebih kurang macam Bodyshop tapi Lush ini lebih kepada produk-produk yang menjadi persekitaran, environment. Dan dia mencadangkan supaya dapat kita buat kerjasama program coral planting di Mersing. Baru saya cakap dengan YB Raven pagi tadi. Mereka berminat untuk bekerjasama dengan kita untuk coral planting dan juga beach cleaning. Dan ia juga melibatkan mereka yang ada kepakaran dalam coral planting. Jadi, apa yang saya nak sampaikan Yang Berhormat ialah di peringkat kerajaan negeri ini, kita berlapang dada untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan bahawa eco-tourism kita tetap terjaga tetap terbela.
Another company yang telah berurusan dengan kerajaan negeri ialah Ocean Cleanup yang banyak buat kerja di peringkat antarabangsa dengan Indonesia, dengan Singapura dan negara-negara lain untuk memastikan bahawa laut, memastikan sungai-sungai dan juga persekitaran pantai mereka tetap bersih. Jadi, Insya-Allah Yang Berhormat, kita akan terus menjaga persekitaran kita dengan baik, Insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran 4 orang pemerhati daripada Pejabat ADUN Kawasan Skudai. (Dewan bertepuk). Dan Dewan juga ingin memaklumkan bahawa 2 orang ahli Yang Berhormat akan menunaikan ibadah haji iaitu YB, 3, YB Bukit Pasir, YB Parit Raja, ya YB Bukit Permai, EXCO kita. Mudah-mudahan kita doakan mereka ini semuanya mendapat haji yang mabrur, amin. Saya jemput, Yang Berhormat Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tangkak nombor 8.
Sila nyatakan status terkini penubuhan Pusat Pengumpulan Hasil Durian dan prestasinya.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullah dan Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tangkak atas soalan yang berkaitan dengan Pusat Pengumpulan Hasil Durian di Johor.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, negeri Johor adalah pengeluar terbesar buah-buahan dalam negara termasuk bagi komoditi buah durian. Di daerah yang paling banyak mengeluarkan durian adalah Tangkak. Bagi pembangunan industri durian, pada tahun 2023 kerajaan menerusi Jabatan Pertanian telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1,723,682.00 yang memberi manfaat kepada 252 usahawan melibatkan keluasan 468.53 hektar. Pada tahun 2024 pula, sebanyak RM1,455,045.00 telah diperuntukkan dengan sasaran penerima manfaat sekurang-kurangnya seramai 128 pengusaha dengan melibatkan keluasan sebanyak 373.31 hektar. Industri tanaman buah durian di Johor telah menunjukkan peningkatan positif dari masa ke semasa. Untuk tahun 2022 misalnya terdapat seramai 31,500 pengusaha dan meningkat kepada 34,650 pengusaha pada tahun 2023. Dari segi keluasan tanaman pula, seluas 19,979.3 hektar direkodkan untuk tahun 2022, meningkat kepada 20,275.6 hektar pada tahun 2023. Dari segi pengeluaran pula, sebanyak 138,945.5 metrik tan direkodkan untuk tahun 2022, meningkat kepada 148,365 metrik tan pada tahun 2023. Ia telah melepasi sasaran jabatan iaitu 141,862 metrik tan untuk tahun 2027. Pada tahun 2023, FAMA Johor merekodkan bahawa eksport durian yang melalui pintu keluar masuk sempadan negeri Johor adalah sebanyak 47,386,450 metrik tan. Sehubungan itu dengan peningkatan positif dari segi jumlah pengusaha, keluasan dan pengeluaran buah durian di Johor, maka kerajaan perlu bertindak ke hadapan dengan usaha untuk memperkasakan pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil durian bagi memastikan jaminan kuantiti dan kualiti buah dapat dikekalkan.
Untuk makluman Ahli Dewan, di Johor sudah ada banyak sebenarnya pusat pengumpulan dan pemprosesan durian yang dikendalikan oleh pihak swasta. Untuk rekod semasa di Johor terdapat 39 pusat pengumpulan hasil durian, manakala 7 lagi pusat pengumpulan dan pemprosesan yang semuanya diterajui dan diusahakan oleh pengusaha dan syarikat swasta. Di bawah FAMA negeri Johor terdapat sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak, Johor. Tetapi ia cuma berskala kecil. Jadi, kerajaan negeri pada tahun ini berhasrat untuk meningkatkan fasiliti dan teknologi pusat pengumpulan dan pemprosesan durian FAMA ini. Ia bakal menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan bagi durian-durian yang dikeluarkan di sekitar Tangkak, Muar dan Segamat.
Untuk makluman Ahli Dewan dan Yang Berhormat Tangkak, kerajaan negeri sebelum ini telah memajukan permohonan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pihak Kementerian telah bersetuju dengan cadangan ini iaitu untuk memperkasa Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Durian Tangkak dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. Projek ini akan dioperasi dan dijalankan secara kerjasama strategik antara FAMA dan pihak swasta. Setakat ini satu syarikat swasta bersetuju secara dasarnya untuk bekerjasama dan melabur sebanyak RM2 juta lagi bagi perlaksanaan projek ini. Peruntukan dan pelaburan swasta ini adalah untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan, pembekalan sistem nitrogen, pembekalan peralatan operasi dan kerja-kerja berkaitan menaik taraf fasiliti pusat pengumpulan dan pemprosesan durian FAMA Tangkak ini.
Pusat Pengumpulan Dan Pemprosesan Durian Tangkak ini bertujuan meningkatkan produktiviti penghasilan pemprosesan buah-buahan segar terutama durian sejuk beku. Yang kedua, bagi meningkatkan pengeluaran eksport durian sejuk beku ke luar negara. Yang ketiga, meningkatkan jangka hayat produk lebih lama dan berkualiti yang seterusnya mengurangkan kerugian kepada pengusaha dan yang keempat bertujuan untuk dapat dipasarkan durian ini sepanjang tahun termasuk di luar musim. Sebelum ini keupayaan pusat ini hanya mampu memproses 2 metrik tan durian sehari dan menyimpan sebanyak 22 metrik tan isi durian dalam satu-satu masa. Dengan menaik taraf pusat ini nanti, keupayaan memproses durian sejuk beku akan meningkat dengan anggaran 12 metrik tan sehari, 360 metrik tan sebulan dan 4,320 metrik tan setahun.
Bagi status terkini, FAMA telah menerima kelulusan permohonan peruntukan daripada kerajaan dan kerja-kerja menaik taraf fasiliti ini dijangka bermula Jun 2024 dan dijangka beroperasi tahun 2025. Sekian, terima kasih.
Ya, sila Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih atas jawapan daripada Yang Berhormat EXCO. Tangkak ingin mengucapkan terima kasih terutama kepada pihak kementerian dan juga pihak FAMA kerana telah membinakan, menyediakan satu pusat atau pun kilang kecil pemprosesan buah-buahan segar, durian di pusat operasi FAMA Tangkak. Tangkak juga pernah melawat fasiliti tersebut, memang cukup lengkap dengan bahagian pemprosesan, bahagian pembungkusan dan juga ruangan yang mencukupi bagi bilik sejuk beku. Soalan tambahan daripada Tangkak adalah walaupun Tangkak, daerah Tangkak dianggap sebagai pengeluar terbesar buah-buahan durian setakat ini, tetapi memang durian ini dia berbuah mengikut musim. Jadi pusat pemprosesan yang sedia ada di Tangkak yang begitu lengkap, apakah peranan yang boleh dibagi ataupun kita boleh menggunakan fasiliti ini supaya bukan sahaja durian tetapi pada luar musim durian itu, adakah buah-buahan atau pun hasil tanaman lain yang boleh juga menggunakan fasiliti yang sedia ada ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker terima kasih kepada Tangkak atas soalan tambahan itu.
Sebenarnya soalan ini amat baik Yang Berhormat Speaker kerana saya bimbang persepsi masyarakat bahawa pusat pengumpulan dan pemprosesan ini nanti hanya dianggap sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan durian. Sebenarnya perbincangan kami dengan FAMA dan pihak swasta yang bakal terlibat nanti, ianya adalah sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil buah-buahan tetapi tumpuan utama ialah durian. Jadi kami alu-alukan pandangan Tangkak untuk nanti FAMA membuat taklimat misalnya kepada pengusaha-pengusaha buah-buahan di persekitaran FAMA ini supaya ia bukan hanya berfungsi untuk menjadi pusat pengumpulan dan pemprosesan durian tetapi juga buah-buahan lain. Termasuk misalnya buah nanas, limau bali dan sebagainya yang menjadi ikon kepada utara Johor. Terima kasih.
Yang Berhormat, sidang kali ni tak ada makan durian percuma ke?
Yang Berhormat boleh saya jawab? Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dah jangka soalan itu kerana setiap kali sesi Dewan kita dihidangkan durian tempatan. Tetapi Yang Berhormat sebab itu penting soalan ini mengapa perlu ada pusat pemprosesan dan pengumpulan buah-buahan kerana salah satu objektifnya ialah untuk dipasarkan di luar musim. Yang Berhormat ketika ini musim tak banyak, jadi kami tak dapat menghidangkan durian kepada semua sesi Dewan tetapi saya dah bincang dengan Jabatan Pertanian dan juga ada syarikat lain untuk membekalkan kita dengan hasil-hasil pertanian yang lain, Insya-Allah pada hari Khamis ini. Sekian, terima kasih. Dan Yang Berhormat saya nak maklumkan bahawa kepada peminat-peminat durian, sebenarnya di Forest City akan berlangsung satu Festival Durian antara 28 hingga 30 Jun yang akan disertai oleh lebih 10 negara pengeluar durian termasuk Vietnam, Indonesia, Thailand dan China. Kepada peminat-peminat durian kita jemput sama-sama. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Parit Raja nombor 9.
Dengan penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di Johor, bagaimana ia dijangka memberi kesan kepada tarikan pelaburan dalam negeri dan luar negara dalam industri tempatan dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan keberkesanan pusat tersebut mempromosikan pertumbuhan ekonomi negeri?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya berkaitan dengan penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) di Johor, kebanyakan pergerakan atau gerak kerja telah dijawab oleh Dato’ Menteri Besar tempoh hari. Tapi untuk bagi berkaitan dengan langkah-langkah yang telah pun diambil untuk memastikan keberkesanan pusat tersebut, kerajaan negeri Johor sebenarnya telah pun mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya ia, Invest Malaysia Facilitation Centre ditubuhkan di Johor sebagai satu pusat sehenti untuk mempercepatkan proses kelulusan, menyediakan khidmat rundingan nasihat dan mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam di Johor. Dan, pusat IMFC ini ditubuhkan akan yang akan dijalankan di Johor ini merupakan satu-satu pusat IMFC selain daripada yang ditubuhkan di MIDA di Kuala Lumpur. Ia akan juga bertindak sebagai jambatan antara pelabur dan juga agensi-agensi kerajaan di mana pendekatan pusat ini membolehkan komuniti perniagaan bernavigasikan landskap kawalselia dengan lebih cekap, menghasilkan penjimatan masa dan sumber yang ketara.
Penubuhan IMFC juga mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor untuk mengambil kesempatan Keseluruhan Kerajaan atau whole govern approach bagi
memastikan pelbagai kementerian dan agensi bekerjasama rapat untuk merealisasikan projek pelaburan domestik dan asing. Terkini, Dato’ Menteri Besar telah pun adakan lawatan tapak ke tapak yang dicadangkan pada 3 April dan penubuhan IMFC Johor ini telah pun diperincikan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 18 April 2024 di mana perancangan penubuhan IMFC sedang diselaraskan oleh semua agensi yang berkaitan. Terima kasih.
Ya, Parit Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya, syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Johor yang telah menyediakan khidmat rundingan bagi mempermudah urusan perniagaan khususnya di negeri Johor itu sendiri. Soalan daripada Parit Raja, adakah IMFC ini sekali gus membantu dan memberi manfaat dalam membantu kawasan-kawasan perindustrian di selain kawasan khas zon ekonomi ini. Terima kasih.
Terima kasih soalan tambahan tersebut. Tujuan IMFC ditubuhkan adalah susulan daripada cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura dan fokus IMFC akan diberikan kepada zon tersebut. Namun demikian, Invest Johor selaku agensi utama untuk mempromosikan dan juga menaik pelaburan ke negeri Johor akan terus kerjasama dengan pihak MIDA untuk kawasan-kawasan yang lain.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya mengenai data centre atau pun DC ready hub. Sebab saya ada terima satu aduan bahawa satu top 5 IDC company dari China ingin membuat pelaburan di Johor dengan seluas 15 ekar 30 megawatt tetapi dimaklumkan kesemua 3 dc ready hub itu sudah tak ada tanah. Yang paling awal kena tunggu mungkin launching yang baharu memerlukan satu ke dua tahun. Adakah ini benar? Sudah tak ada tanah untuk pelaburan data centre yang baharu. Terima kasih.
Terima kasih soalan tambahan. Kalau boleh saya akan minta Invest Johor menghubungi dengan Yang Berhormat berkaitan dengan maklumat-maklumat terperinci berkaitan dengan cadangan atau pun projek yang dimaksudkan. Tapi di negeri Johor setakat ini DC Park memang ada yang diusahakan oleh Johor Corporation di kawasan Sedenak dan di oleh beberapa syarikat pemaju di kawasan Iskandar Puteri. Namun memandangkan saya tak ada maklumat terperinci berkaitan dengan projek yang dimaksudkan, yang disebutkan oleh Yang Berhormat saya akan bincang kemudian dengan Yang Berhormat. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10.
Bagi tahun 2023, berapa jumlah yang kerajaan negeri telah peruntukan untuk baik pulih dan bina baharu rumah melalui MAIJ, JKM dan BPEN. Nyatakan nilai dan bilangan mengikut pecahan daerah-daerah.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Penawar bertanyakan berkenaan bagi tahun 2023, berapakah jumlah yang
kerajaan negeri peruntukan untuk baik pulih dan bina baharu rumah melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor, JKM dan BPEN. Nyatakan nilai dan pecahan mengikut daerah. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker saya akan menjawab hanya bagi pihak Majlis Agama Islam Negei Johor kerana itu di bawah portfolio saya.
Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, Skim Bantuan Perumahan Majlis Agama Islam Negeri Johor telah lama diwujudkan dan ianya bertujuan bagi membantu golongan asnaf dan memerlukan, yang mempunyai kedaifan tempat tinggal yang perlu dibantu dari segi baik pulih dan bina baharu. Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, mulai tahun 2021, MAINJ telah melantik Pejabat Daerah sebagai agensi pelaksana bagi bantuan perumahan. Garis panduan kewangan juga mengikut kaedah yang ditetapkan. Sejak pelantikan Pejabat Daerah sebagai agensi pelaksana segala urusan pembinaan baik pulih mahupun bina baharu berjalan dengan teratur mengikut jadual.
Bagi tahun 2023 sebagaimana soalan, jumlah peruntukan bina baharu yang telah disediakan adalah sebanyak RM3,700,000.00 dengan nisbah permohonan 5 bagi setiap daerah, menjadikannya 50 seluruh negeri. Bagi peruntukan baik pulih rumah pula sebanyak RM2,000,000.00 dengan nisbah 11 permohonan setiap daerah, 110 keseluruhannya satu negeri.
Untuk makluman Dewan yang mulia, bagi tahun 2023, hanya 22 kelulusan binaan baharu rumah yang telah diluluskan dengan RM1,580,000.00 juta. Manakala baik pulih rumah pula, hanya 25 keseluruhan permohonan yang diproses dengan jumlah bayaran RM391,753.07. Saya mengakui ianya di bawah paras yang ditetapkan. Pecahannya adalah seperti berikut, sebab YB Penawar tanya pecahan Yang Berhormat Datuk Speaker. Bagi bina rumah baharu 2023 bagi Johor Bahru, 1 biji rumah; Muar, 9 biji rumah; Batu Pahat, 3 biji rumah; Segamat, tiada; Kluang, 1; Pontian, tiada; Kota Tinggi, 1; Mersing, 1; Kulai, 2; Tangkak, 2. Keseluruhannya 22 biji rumah baharu. Bagi baik pulih Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun lepas Johor Bahru, 5 permohonan; Muar, 1 permohonan; Batu Pahat, 6 permohonan; Segamat, tiada; Kluang, 2; Pontian dan Kota Tinggi juga tiada; Mersing, 11; Kulai dan Tangkak juga tiada. Keseluruhannya hanya 25 permohonan.
Memandangkan statistik tersebut tidak begitu baik Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi tahun 2024, kerajaan Johor di bawah portfolio saya MAINJ, dalam menyahut seruan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bagi maksud membasmi miskin tegar dan membantu kumpulan miskin, untuk pertama kalinya Datuk Speaker saya sebutkan di sini, setiap Dewan Undangan Negeri melalui ADUN dan juga Penyelaras DUN telah diperuntukkan satu buah rumah untuk bina baharu, ini tepuk sikit Datuk Speaker. (Dewan bertepuk). Dan enam buah rumah baik pulih, ini setiap DUN Datuk Speaker ada pengkhususan dan kita percaya melalui ADUN dan juga Penyelaras DUN mereka dapat membantu kita laksanakan semuanya, berbanding kita hanya serahkan bulat-bulat kepada Pejabat Daerah seperti sebelum ini. Maksudnya, the more the merrier Yang Berhormat Datuk Speaker. Ramai membantu, dasar akan dapat dilaksanakan. Peruntukannya Yang Berhormat Datuk Speaker berganda bagi baik pulih, RM8,000,000.00 jauh lebih tinggi ini, bagi bina baharu RM7,000,000.00 menjadikan inisiatif ini oleh MAINJ sahaja pun RM15,000,000.00. Inisiatif ini memberi peluang kepada 18,317 asnaf dalam negeri Johor untuk memohon bantuan ini. Seperti mana yang saya sebutkan ini adalah tanda Majlis Agama Islam Negeri Johor menyokong hasrat negeri dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi pembasmian kemiskinan dan membantu rakyat susah yang memerlukan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya sila, Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Pulai Sebatang ini ada nak tanyalah beberapa soalan kepada Yang Berhormat
EXCO. Tadi bila sebut tentang data, kita tengok bila sebut Pontian, bina baharu tak ada, sebut tahun berikutnya bina baharu pun tak ada. Pontian ini dia ada empat DUN. Maknanya kalau dapat pun satu DUN pun jadilah dalam daerah Pontian tetapi tak ada. Mungkin Yang Berhormat EXCO boleh terangkan di dalam Dewan ini berapa jumlah sebenarnya permohonan rumah bina baharu ini yang dimohon mengikut daerah dan yang dah lulus berapa atau mungkin YB EXCO di bawah MAINJ ini dia ada KPI, mohon berapa mesti lulus berapa percent, dia mesti ada target, dia mesti ada target. Dan mungkin YB EXCO boleh bantu kita-kita ini dari segi proses, tempoh proses nak mohon tu kadang ambil masa bertahun sebenarnya sebab kita ini, YB-YB ini masuk dalam Mesyuarat Kumpulan Fokus Daerah ini, kalau Pontian dia dua bulan sekali. Nampaknya proses itu macam lambat sangat. Jadi, mungkin boleh terangkan kepada kita, dia punya had tempoh itu ada KPI berapa dan jumlah mohon berapa, lulus berapa? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih YB Pulai Sebatang. Yang Berhormat Datuk Speaker, itu sebab saya katakan tadi kita kerajaan negeri belajar daripada kelemahan lalu, kami pentadbir penggal ini tidak segan nak sebut kelemahan ada tapi bagaimana kita memperkasakan pelan-pelan tindakan. Bila mana tadi Pulai Sebatang, saya dah terangkan mengikut daerah pun ianya sangat, sangat memeranjatkan, bila mana kuota yang kita beri ikut daerah pun tidak dapat dipenuhi tahun lepas. Maka sebab itu, tahun ini portfolio saya, saya ambil tindakan paling tegas membantu daerah melalui ADUN sendiri, sebab Wakil Rakyat dan juga Penyelaras DUN kena diperkasakan. Mereka lebih kenal penduduk dan pengundi mereka, masyarakat sekitar mereka. Jadi, bila mana mereka ini diberikan suara dan juga kuota Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka sudah pasti akan meraikan peruntukan yang kita berikan.
Berkaitan dengan data Pulai Sebatang, saya nak sebutkan, kita sedang dalam proses pengumpulan. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, macam yang saya sebutkan tadi, petang ini pun sebenarnya saya memanggil satu mesyuarat penyelarasan di peringkat para-para pegawai ADUN termasuk pegawai-pegawai saya sendiri, MAINJ dan JKM bersama YB Khairin pun bersama, kami akan melihat permohonan sebenar berdasarkan peruntukan yang telah pun kita sediakan. Dan, saya kena bagi tahu pada Dewan yang mulia ini, sehingga hari ini sebahagian daripada kita masih belum memenuhi senarai yang kita perlukan itu. Jadi, bagi maksud mengumpul data, biar dia sedikit lambat Datuk Speaker tapi ia tidak terlewat. Petang ini saya akan, saya mengharapkan semua ADUN dan Penyelaras DUN dapat membekalkan maklumat sebenar yang kita perlukan.
Keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker, Pulai Sebatang juga tanya tentang proses. Saya mengakui Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum ini ada kekangan soal kewangan. Kita nak buat bantu rakyat, duit tak ada. Tapi tahun ini MAINJ ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ikut belanjawan dan juga lebihan zakat tahun 2023, RM15,000,000.00 dah diperuntukkan tinggal laksana sahaja. Sebelum ini nak cari duit payah, tahun ini MAINJ sediakan duit, takkan tak boleh buat? Soalannya, siapa yang buat masalah sampai dia tertangguh? Maka, ini juga tanggungjawab saya Yang Berhormat Datuk Speaker. Mana red tape, di peringkat mana sekali pun Yang Berhormat Datuk Speaker, MAINJ dah ada duit, Pejabat Daerah, saya juga sahkan, duit dah disalurkan tapi saya kena mengaku Yang Berhormat Datuk Speaker, petang ini saya terima laporan ada daerah masih belum bayar. Maka, petang ni saya akan jemput semua ADO Pejabat Daerah semua bersama dengan saya. Segan Yang Berhormat Datuk Speaker, duit dah ada tak boleh bayar. (Dewan bertepuk). Malu, duit tak ada tak boleh buat lain cerita. Saya nak tengok macam tadi Yang Berhormat Datuk Speaker sebut, bukan nak cari salah siapa, nak cari apa yang salah. Maka, di situ kita potongkan dia punya red tape supaya dia tidak lagi menganggu dasar kerajaan bagi membantu rakyat yang susah, rumahnya dibaiki, yang tak ada rumah kita bantu dibina rumah yang baru.
Jadi, saya mengakui kekurangan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, bahkan saya mengambil tanggungjawab untuk memperbaikinya dan sebab itulah kami beriltizam untuk menyahut saranan Menteri Besar, titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor supaya miskin tegar 2025 dapat kita basmi semaksimum. Permudahkan urusan, kita akan dapat membantu lebih ramai makhluk tuhan yang memerlukan. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.
Tahniah Yang Berhormat. Saya masih ingat, masa saya Timbalan Menteri dulu sekolah daif di pedalaman banyak tetapi duit yang dipulangkan, tidak dibelanjakan oleh Kementerian Pelajaran RM800,000,000.00. RM800,000,000.00 dipulangkan tapi bila tanya duit, kata tak ada duit, hah ini sebenarnya isu birokrasi. Saya jemput Yang Berhormat Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Gambir nombor 11.
Apakah kerajaan negeri ada membuat inventori tentang kemudahan-kemudahan sukan yang telah uzur dan perlu dibaikpulih. Apakah langkah kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Gambir di atas soalan ataupun bertanyakan mengenai adakah kerajaan negeri membuat inventory dengan izin, kemudahan-kemudahan sukan yang uzur dan perlu dibaik pulih selain langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Gambir, di bawah Perbadanan Stadium Johor (PSJ) memang sudah diwujudkan Pelan Induk PSJ yang ada menyenaraikan kemudahan-kemudahan kendalian PSJ yang perlu diberi perhatian terutamanya aspek fizikal. Yang Berhormat Datuk Speaker, pelan induk ini menjadi panduan hala tuju pembangunan bukan sahaja kemudahan yang uzur, malah bagi semua sepuluh fasiliti sukan di bawah kendalian Perbadanan Stadium Johor.
Pelan induk ini telah pun mengenal pasti kerja-kerja menaik taraf, membaik pulih serta pengindahan yang bersesuaian bagi setiap fasiliti yang dikendalikan mengikut jadual yang dirancang bagi memastikan kos penyelenggaraan dapat dikurangkan. Antara fasiliti PSJ yang paling lama, telah dibangunkan iaitu tertua termasuklah Kompleks Sukan Kluang, Akademi Badminton Taman Perling dan juga Stadium Hoki Taman Daya. Dan ke semua fasiliti-fasiliti ini terus diberi perhatian dan diperuntukan bagi menjamin keselamatan dan kepuasan pelanggan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai contoh bagi tahun 2024, Kompleks Sukan Kluang telah dijadualkan untuk dinaik taraf menerusi penggantian bumbung Dewan B yang mana telah pun selesai serta kerja-kerja lain yang berkaitan di stadium tertutup termasuklah pendawaian semula yang bakal menyusul. Bagi Akademi Badminton Taman Perling pula, rancangan yang diatur ialah kerja menaik taraf dan membaik pulih lobi utama, tandas awam bagi keselesaan pengguna dan pelawat fasiliti ini di samping kerja-kerja lain yang berkaitan. Manakala stadium hoki telah lebih awal diberi nafas baru iaitu pada tahun 2022 dengan kerja seperti pengecatan bangunan dan juga pengalisan air ataupun water proofing telah dilaksana pun.
Untuk makluman Yang Berhormat Gambir, usaha yang ditumpukan kepada kemudahan-kemudahan PSJ menerusi Pelan Induk Perbadanan Stadium Johor menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menggalakkan kegiatan sukan di negeri ini. Insya-Allah, saya sendiri akan terus memantau dan melakukan lawatan-lawatan fasiliti-fasiliti sukan khususnya yang sedang
dibaik pulih bagi melihat sendiri dan memastikan kerja-kerja yang dibuat mengikut jadual dan perancangan sebagaimana yang ditetapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, suka juga untuk saya kongsikan mengenai gelanggang-gelanggang futsal di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, jumlah keseluruhan gelanggang futsal Kementerian Belia dan Sukan adalah sebanyak 248 buah. Sejak tahun 2019, Kementerian Belia dan Sukan juga telah meluluskan sebanyak 64 peruntukan baik pulih, selenggara, naik taraf fasiliti sukan melalui Jawatankuasa Projek-Projek Kecil termasuk 18 buah gelanggang futsal. Pihak Kementerian Belia dan Sukan juga dalam usaha untuk melaksanakan proses serah, lupus gelanggang futsal ini kepada pemilik tanah yang terdiri daripada kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan persekutuan, mahu pun persendirian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak 54 buah gelanggang futsal telah diserah lupuskan kepada pemilik tanah dan sebarang permohonan peruntukan untuk menaik taraf, menyelenggara, baik pulih fasiliti sukan boleh dipanjangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk dipertimbangkan.
Untuk makluman Yang Berhormat Gambir dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) dalam masa terdekat ini akan mengadakan satu mesyuarat bersama pihak kerajaan tempatan, PBT untuk menyegerakan menyelenggara kemudahan sukan di kawasan pentadbiran PBT dan juga saya pun telah memohon agar pihak Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor menjaga hal ehwal sukan, belia dan sukarelawan untuk mengenal pasti berapakah jumlah gelanggang atau pun fasiliti-fasiliti sukan di bawah PBT, di bawah pejabat daerah untuk kita tahu berapakah jumlah sebenar fasiliti-fasiliti sukan di seluruh daerah-daerah. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih.
Ya, jemput Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada YB EXCO yang telah pun, atas jawapan yang diberikan. Tahniah kepada kerajaan negeri yang pada ketika ini sedang giat membina fasiliti-fasiliti sukan bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan sukan negeri Johor yang tercinta ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di Gambir kita ada satu sebidang tanah, berkeluasan lebih kurang tujuh ekar yang dahulunya telah diluluskan pembinaan untuk membina sebuah mini stadium pada tahun 2017. Tapi telah pun dibatalkan oleh kerajaan yang baharu pada tahun 2018. Pada ketika ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, tanah tersebut telah dibangunkan secara runcit-runcit oleh YB Gambir, saya sendiri untuk tujuan kemudahan sukan untuk masyarakat di DUN Gambir.
Soalan tambahan saya, adakah kerajaan negeri pada hari ini ada usaha untuk mencari alternatif bagi menyediakan sebuah kemudahan sukan berpusat khususnya di DUN Gambir atau pun di tempat-tempat lain yang mana sekiranya ada cadangan tersebut Gambir ingin mencadangkan tanah seluas tujuh ekar tadi dapat digunakan untuk tujuan pembangunan kemudahan sukan berpusat tersebut. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Gambir di atas soalan yang diberikan. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan ini cukup baik kepada kami dan kepada saya khususnya untuk menggerakkan fasiliti-fasiliti yang ada dan sekiranya ada tanah yang terbelangkalai. Terima kasih kepada Yang Berhormat Gambir.
Untuk makluman dan pengetahuan Yang Berhormat, bagi permohonan stadium, mini stadium atau sebarang fasiliti sukan, Kementerian Belia dan Sukan akan memberikan keutamaan kepada permohonan dan keperluan di sesuatu kawasan dan saya faham sememangnya agak sukar atau pun lambat untuk pembangunan fasiliti dibuat kerana dia melibatkan satu kos yang besar. Namun begitu, kerajaan negeri Johor mengambil maklum dan sememangnya mencari alternatif lain untuk membolehkan pembangunan sebuah pusat sehenti atau kemudahan di bawah satu bumbung.
Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum dan sering kali dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan saya sendiri ialah pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Center atau TMIYC yang disasarkan dibina di semua 10 daerah dalam negeri menjelang tahun 2027 Insya-Allah. Diwujudkan TMIYC ini hasil idea ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menjadi satu alternatif bukan sahaja sebagai pusat orang muda dan belia-belia tetapi juga sesuai dijadikan sebagai kawasan riadah keluarga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang saya membuat lawatan ke tapak-tapak TMIYC khususnya yang sedang dalam pembinaan iaitu di Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, pusat ini memiliki beberapa komponen sukan yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Di tempatnya kalau kita tengok ada gelanggang futsal, gimnasium, trek, sukan lasak dan banyak lagi. Ini menjawab persoalan Yang Berhormat yang bertanya mengenai satu kemudahan yang terletak di bawah satu bumbung dan model TMIYC ini sememangnya paling sesuai bagi menjawab persoalan itu. Terima kasih saya ucapkan kepada EXCO yang lama, Dato’ Jun, kelangsungan saya sebelum ini TMIYC Johor Bahru. Sekarang kita berada di TMIYC Muar, Insya-Allah dan TMIYC Simpang Renggam atau pun Kluang telah pun selesai. Kelangsungan yang dibuat oleh saya hasil juga daripada kepimpinan yang lama, saya ucapkan terima kasih.
Saya faham mungkin ada Ahli-Ahli Yang Berhormat mahukan kemudahan sukan ataupun TMIYC ini di setiap kawasan-kawasan Ahli Yang Berhormat. Namun, semua sedia maklum ia melibatkan satu kos yang besar dengan pelaksanaan perlu mengambil kira laporan-laporan kajian kebolehsanaan bagi mengelak projek-projek ini menjadi projek gajah putih. Insya-Allah Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Gambir, dengan pembinaan sebuah TMIYC, setiap satu daerah ini di dalam negeri Johor boleh dijadikan permulaan dan satu usaha kerajaan negeri dalam mencari alternatif-alternatif membina sebuah pusat yang memiliki kemudahan yang boleh dimanfaatkan di segenap lapisan masyarakat negeri Johor Darul Ta’zim. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.
Saya jemput, Yang Berhormat Johor Lama.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Johor Lama nombor 12.
Demi menyahut Dasar YB Menteri Pendidikan: Pendidikan Karamah Insaniah, mohon pihak-pihak berkepentingan memberikan sumbangan kewangan bagi menjalankan program berbentuk aktiviti luar seperti Perkhemahan Perpaduan, Sukan Muhibah, Kem Bina Sahsiah, Kepimpinan Muda, dan sebagainya bagi melancarkan lagi perjalanan setiap program.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama di atas soalan yang diberikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sangat menitik beratkan pembangunan adab, akhlak dan integriti bagi
melahirkan anak yang baik lagi cerdik yakni ABC dalam memastikan generasi waris masa depan mempunyai jati diri yang kukuh untuk menghadapi cabaran masa datang.
Dalam aktiviti kokurikulum, penerapan aspek rahmah insaniah dalam kalangan murid disemai dan dipupuk melalui pasukan badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan yang disertai oleh murid. Penyertaan murid aktiviti ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja, malah melibatkan pelbagai latar belakang dan sosio ekonomi, agama dan etnik. Aktiviti seperti ini mampu membentuk persekitaran kepada individu yang terbaik dalam penerapan perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kalangan murid seperti yang dihasratkan.
Bagi melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa kini, kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta Ahli Majlis Pimpinan Muda Johor Cohort 12 telah memperuntukkan hampir sebanyak RM200,000.00 bagi penganjuran Johor International Leaders Conference (JILC) yang telah dihadiri seramai 2,400 orang murid sekolah menengah dan sekolah rendah negeri Johor serta 100 orang murid sekolah antarabangsa.
Penganjuran JILC adalah bertujuan untuk memberikan murid kesedaran dan ilmu berkaitan menjadi warga pengguna teknologi digital yang bertanggungjawab serta menginterprestasikan manfaat teknologi digital. Manakala penganjuran pameran KRMJ pula bertujuan untuk menggalakkan murid menjiwai hasrat dan matlamat dan karakter murid dalam pembentukan adab dan nilai murni yang baik. Usaha murni ini perlu disokong dan disambut baik oleh semua pihak.
Seterusnya, kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mengambil dengan pelbagai pihak untuk merangka dan menjalankan program pendidikan dan kelestarian yang bertujuan memberi kesedaran alam sekitar kepada pelajar dan guru sekolah. Jabatan Pendidikan Negeri Johor kini masih meneruskan pelbagai inisiatif rendah karbon bermatlamatkan untuk menonjolkan Johor sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kelestarian dari peringkat sekolah lagi.
Program-program yang telah dijalankan di bawah pendidikan kelestarian ini termasuklah Iskandar Malaysa Ecolive Challenge yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama IRDA dan Universiti Teknologi Malaysia. Sejak tahun 2013, pelaksanaan IMELC pada tahun 2024 adalah kerjasama penaja antara Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Ranhill Sdn Bhd yang bertindak sebagai rakan utama, manakala Majlis Perbandaran Segamat dan Eng Hiap Industries selaku rakan sokongan. IMELC 2024 turut mendapat sokongan dari Yayasan Khazanah dan UNICEF dengan kos keseluruhan lebih RM200,000.00.
Selain itu, program Sustainable Development Goals, School Challenge dan RCE Iskandar Schools Exhibition dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Regional Development Authority dan UTM yang ditaja sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan kos lebih RM60,000.00.
Program pendidikan kelestarian, LA21 Majlis Bandaraya Johor Bahru pula dijalankan oleh JPN bersama MBJB dengan kerjasama UTM dan ditaja sepenuhnya Majlis Bandaraya Johor Bahru dengan kos RM400,000.00.
Program-program seperti ini adalah penting dalam membantu melahirkan karakter murid Johor dan seiring dengan penerapan aspek rahmah insaniah yang mempunyai kesedaran dalam penjagaan alam sekitar melalui pendidikan kelestarian. Sekian, terima kasih.
Ya, sila Johor Lama.
Ok Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih. Terima kasih kepada YB EXCO atas jawapan tadi. Melihat sekolah-sekolah mempunyai pelbagai aktiviti yang mendatang yang sangat banyak manfaat kepada pelajar itu sendiri tetapi sekolah kurang kemampuan daripada segi kewangan. Saya juga rasa Yang Berhormat ADUN juga setuju banyak sangat permohonan-permohonan daripada sekolah yang kadang-kadang peruntukan kita nak beri semua, tapi kita pun tak cukup. Jadi soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, apakah tindakan YB EXCO dalam memastikan sekolah-sekolah ini mendapat bantuan dan sumbangan daripada agensi swasta atau pun daripada kerajaan negeri bagi mengurangkan bebanan kerajaan sendiri untuk memberikan peruntukan dan mungkin kerajaan negeri Johor ada maksudnya, kerajaan negeri Johor ada maksudnya kerajaan negeri Johor ada memperuntukkan satu peruntukan khas untuk bantuan-bantuan kepada sekolah-sekolah menjalankan aktiviti-aktiviti. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama di atas soalan tambahan tadi.
Faham dan percaya memang kebanyakan permohonan-permohonan diterima oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, di sepanjang menjadi Ahli Yang Berhormat di mana sekolah-sekolah sentiasa menghulurkan surat permohonan di atas sumbangan kepada sekolah.
Kerajaan negeri Johor sentiasa komited memastikan kelestarian sahsiah murid Johor dipelihara, kerajaan negeri Johor sentiasa mengadakan perbincangan dan program kolaboratif bersama agensi-agensi swasta, NGO dan komuniti. Kita sentiasa berganding bahu bersama penglibatan ibu bapa, komuniti dan swasta bersama dalam satu program untuk membantu murid dalam pembelajaran. Pembudayaan amalan kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan inginkan kejayaan dalam kalangan murid sekolah harus disemai bersama melalui program ini. Keterlibatan dan kebersamaan amat diharap dapat dijalin antara ibu bapa, komuniti dengan disokong oleh kumpulan korporat dan swasta dalam usaha membangunkan komuniti dan murid.
Peranan dan tanggungjawab PIBKS memangnya memberi kesan langsung kepada pencapaian sekolah kerana ia merupakan landasan untuk meletakkan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan. Ia juga dapat membudayakan semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa, komuniti, korporat serta sektor swasta dan masyarakat dalam semua aktiviti. Dalam perkara tersebut, diwujudkan tabung pendidikan di setiap sekolah. Setiap sekolah perlu menyediakan satu akaun tabung bagi mengumpul dana untuk keperluan sekolah tersebut. Pihak sekolah perlu bekerjasama dengan pihak alumni dan PIBG bagi meletakkan sasaran jumlah terkumpul tahunan dan strategi serta langkah yang perlu diambil bagi menjayakan sasaran yang telah dibuat. Sebagai contoh pada tahun 2023, Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, mereka telah menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM1,000,000.00 selama setahun. Oleh itu, mereka berusaha dengan membuat macam-macam aktiviti termasuk program seperti Gala Dinner, program bersama alumni. Oleh itu mereka berjaya mengumpul sebanyak RM1,200,000.00 untuk Tabung Pendidikan Sekolah Menengah Tun Fatimah. Dan akhir sekali di peringkat kerajaan negeri Johor telah menubuhkan jawatankuasa penyelarasan biasiswa dan bantuan pendidikan negeri Johor serta tabung kebajikan dan pelajaran YPJ. Fungsi jawatankuasa dan tabung ini adalah untuk menentukan dasar strategi dan perancangan inisiatif berkaitan biasiswa dan bantuan pendidikan yang disediakan oleh jabatan. Badan berkanun dan syarikat swasta berkaitan kerajaan di bawah kerajaan negeri Johor.
Jawatankuasa ini juga akan menyelaras pemberian biasiswa dan bantuan pendidikan yang disediakan oleh jabatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan dengan kerajaan di bawah kerajaan negeri Johor. Bagi syarikat-syarikat berkepentingan yang berminat untuk menyumbang bolehlah menyalurkan sumbangan melalui tabung kebajikan dan pelajaran YPJ
yang telah diluluskan sebagai institut dan diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1997. Tabung kebajikan dan pelajaran YPJ ini tidak aktif sejak kelulusan 1985 dan berharap agar semua aktiviti dan sumbangan daripada syarikat korporat boleh disalurkan kepada tabung pendidikan yang dilaksanakan di bawah YPJ ini. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Permas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalah Permas nombor 13.
Warga asing berkahwin dengan warga tempatan dan menggunakan nama pasangannya untuk menjalankan perniagaan. Adakah ia dibenarkan?
Assamualaikum warahmatullahitaalawabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat pihak kerajaan negeri di peringkat 16 PBT telah menambah baik proses permohonan lesen perniagaan yang melibatkan kategori lesen tidak berisiko. Apa itu lesen tidak berisiko? Ialah lesen penjaja statik, lesen pasar malam, pasar pagi, gerai persendirian, penjaja sementara, lesen penjaja bergerak, atau food truck, car boot sale, penjaja berkenderaan dan lain-lain. Bagi memudahkan penjaja kecil memohon lesen perniagaan mereka berkuatkuasa 1 Januari 2023 dan telah diselaraskan di seluruh 16 PBT dan kelulusan lesen tidak berisiko ini hanya memerlukan kelulusan lesen 1 hari bekerja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk lesen penjaja kecil memang dasar di peringkat 16 PBT tidak akan keluarkan lesen kepada bukan warganegara orang asing. Jika mereka berniaga secara haram, tindakan akan diambil dan tindakan pembatalan lesen kepada peniaga tempatan juga yang menyewakan lesen kepada warga asing. Untuk menjawab soalan Yang Berhormat, warga asing berkahwin dengan warga tempatan dan menggunakan nama pasangannya untuk menjalankan perniagaan adakah ia dibenarkan? Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman bagi situasi ini memang dibenarkan untuk pasangan yang merupakan warganegara Malaysia mendapatkan lesen perniagaan atau lesen penjaja bagi menjalankan perniagaan di dalam kawasan pentadbiran PBT oleh kerana tiada larangan dalam perkahwinan di antara rakyat tempatan dengan warga asing dan kebanyakkan perniagaan yang dijalankan adalah secara turun temurun atau pemilikan keluarga. PBT juga tiada punca kuasa atau larangan untuk menyekat permohonan lesen yang lengkap sekiranya pemohon melampirkan kesemua dokumen yang disyaratkan. Pihak PBT pada dasarnya sebagaimana undang-undang kecil perlesenan trade, perniagaan dan perindustrian tiada halangan bagi mana-mana aktiviti perniagaan dikendalikan atau dijalankan oleh warganegara asing selagi mana nama warganegara asing tersebut terdapat di dalam maklumat pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau dipanggil SSM, dalam membenarkan warganegara asing untuk mendaftar perniagaan mereka ini. Selain itu, bagi warganegara asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan terdapat kebenaran di pihak Jabatan Imigresen Malaysia atau dipanggil JIM untuk pasangan warganegara asing tersebut berkerja. Terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO, dan soalan tambahan saya adalah apakah operasi dan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang berniaga secara haram dan tidak mempunyai lesen? Itu sahaja.
Terima kasih kepada YB. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman semua Jabatan Penguatkuasa 16 PBT
telah melakukan operasi penguatkuasa bersepadu melibatkan warga asing bermula tahun 2022 hingga 31 Januari 2024 sebanyak 454 operasi telah dilaksanakan. Dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil adalah sebanyak 577 tindakan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru merupakan yang tertinggi dengan 315 operasi dan 270 tindakan penguatkuasaan. Terima kasih.
Ya, saya jemput Yang Berhormat Tiram, sebab soalan ini pada saya penting tetapi saya hanya membenarkan jawapan sahaja, tiada soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tiram nombor 14.
Dalam kita menuju negeri maju menjelang tahun 2030, antara yang perlu dilihat adalah sistem penyuraian trafik yang cekap dan efisien di negeri Johor amnya dan bandaraya Johor Bahru khususnya. Apakah perancangan kerajaan negeri berkenaan perkara ini?
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, selamat sejahtera, salam Maju Johor terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tiram. Tidak dinafikan bahawa kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan bandar Johor Bahru semakin meningkat. Banyak faktor yang menyumbang kepada kesesakan-kesesakan ini antaranya ialah bilangan penduduk yang semakin ramai dan kawasan perumahan yang semakin banyak, bilangan kenderaan yang semakin bertambah, pembangunan, pertukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding Dolar Singapura, sistem pengangkutan awam yang masih belum efisien serta sistem jaringan jalan raya kita di negeri Johor ini. Antara faktor-faktor yang diambil berat bagi tujuan penyuraian trafik di Johor Bahru kita telah mengadakan banyak task force Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk kita nilai baik daripada segi perjalanan rakyat Malaysia keluar masuk Johor Bahru ke Singapura, kita juga ada task force untuk melihat kawasan-kawasan kesesakan yang berlaku dalam negeri Johor dan juga Johor Bahru, dan alhamdulillah task force, task force ini telah menghasilkan satu output yang telah diangkat ke jawatankuasa cabinet yang di pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri I. Antara perkara yang kita ambil kira dalam kita hendak melaksanakan satu pelan penyuraian trafik yang tuntas di Johor khususnya di Johor Bahru, jawatankuasa kita telah mengenal pasti punca kesesakan, iaitu ada 192 lokasi kesesakan di seluruh negeri Johor termasuklah 78 daripadanya di bandar Johor Bahru. Jadi, antara punca ini kita lihat perlunya perlebaran jalan, perlunya penjajaran semula jalan, perlunya penguatkuasaan, kita kena lihat juga kaedah pembaikan jalan serta kaedah menangani kes-kes kemalangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, antara yang kita fokus selain perlunya pelebaran jalan yang memerlukan kos yang tinggi kita perlu juga melihat penjajaran semula jalan-jalan di seluruh negeri Johor, antaranya jaringan jalan utama dan jaringan jalan-jalan susur. Seterusnya ialah isu pengangkutan awam, untuk makluman Ahli-Ahli Dewan jawatankuasa ini telah mengenal pasti 38 lokasi untuk kita adakan park and ride. Park and ride ini maksudnya kita hendak cuba mengurangkan kereta masuk ke dalam bandaraya. Dia parking di satu tempat dan kemudian kita sediakan bas untuk masuk ke dalam bandaraya Johor Bahru. Daripada 38 yang telah dikenal pasti, 17 daripadanya quit wing, iaitu kita gunakan parking mall sedia ada dan juga parking-parking awam yang sedia ada sebagai tempat untuk park and ride. Dan juga kita juga telah mengangkat cadangan shuttle dalam bandar, shuttle dalam bandar ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan ialah perkongsian antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga dana daripada pihak Kerajaan Persekutuan.
Seterusnya, dengan bantuan agensi-agensi lain JKR, PLANMalaysia dan sebagainya, kita juga telah identify, mengenal pasti beberapa lingkaran hubungan sebab antara faktor
kesesakan di bandar Johor Bahru Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah antara timur dan barat itu tiada hubungan jalan yang sempurna. Mereka terpaksa lalu di kawasan bandar Johor Bahru. Sebagai contoh, lingkaran dalam ini kita hendak menyuraikan trafik untuk keluar masuk Johor Bahru - Singapura. Kita juga wujudkan lingkaran tengah hendak menghubungkan antara Pasir Gudang ke Pontian, lingkaran timur barat, Gelang Patah ke Pasir Gudang, lingkaran luar ia ini kita hendak cover kawasan intact di Sedenak nanti dan juga jajaran ke Lapangan Terbang Senai. Projek-projek telah kita kenal pasti dan telah diangkat, kita ambil kesempatan dan peluang dalam Johor-Singapore SEZ ini untuk kita angkat projek-projek ini supaya hubungan-hubungan jalan raya kita saling berhubung antara satu sama lain. Antara cadangan yang dimasukan juga dalam pelan penyuraian trafik ini Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah rail cargo dan penumpang. Kita cuba hendak menggunakan rail yang sedia ada khususnya daripada Tanjung Langsat Pasir Gudang singgah ke Kempas terus ke Tanjung Pelepas di Gelang Patah. Buat masa ini rail ini hanya single track dan kita ada mengangkat satu permohonan kepada kerajaan untuk dijadikan sebagai double track dan boleh digunakan bukan sahaja kepada kargo tetapi juga kepada penumpang-penumpang awam. Projek ini Insya-Allah berimpak tinggi Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana bila kargo boleh menggunakan rail ini sebagai mode pengangkutan mereka maka jalan-jalan raya khususnya lebuh raya Pasir Gudang akan kurang kargo-kargo lalu di jalan-jalan tersebut. Kemudian kita juga ada cadangan untuk mengoptimumkan penggunaan double track. Double track ini hampir siap dan Insya-Allah akan mula beroperasi pada tahun hadapan. Namun begitu, kita hendak optimumkan double track ini kita minta juga cadangan daripada MOT dan juga KTM seperti ada pembelian komuter supaya dapat diadakan komuter sementara double track itu tidak digunakan, kita gunakan komuter dan ada beberapa cadangan kawasan-kawasan, stesen-stesen kecil supaya komuter-komuter ini dapat mengalih-alihkan penumpang tersebut.
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan, perkhidmatan ETS, Double Track, perkhidmatan RTS dan juga cadangan yang saya sebutkan sebelum ini iaitu elevated ERT. Saya suka nak berkongsi Yang Berhormat Datuk Speaker, bila kita sebut hari itu Elevated ART media-media ambil gambar ART di Sarawak, itu memberi gambaran yang kurang tepat. ART yang kita maksudkan ialah ART yang di atas jejambat ataupun Elevated ART. Jadi, saya minta bantuan media-media yang ada supaya dapat memberikan gambaran yang sebenar tentang apa yang kita cuba rancang. Dan, Insya-Allah apabila ketiga-tiga projek mega ini ETS, RTS dan juga ART kita dapat menyuraikan trafik yang kita jangka akan lebih sesak di bandar Johor Bahru menjelang 2027 nanti.
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, selain kita menyuraikan trafik dalam Johor Bahru atau pun bandar Johor Bahru kita juga ada mengangkat cadangan untuk trafik-trafik ini keluar daripada Johor, keluar daripada Johor Bahru. Antara cadanganya ialah Lebuh Raya Utara - Selatan PLUS dan SDE dinaik taraf daripada dua lorong, daripada empat lorong kepada enam lorong untuk PLUS dan dua lorong kepada empat lorong untuk SDE. Kita juga ada mencadangkan Lebuh Raya Pantai Barat, West Coast Expressway ia akan menghubungkan daripada Melaka turun sampai ke Pontian seterusnya cadangan Lebuh Raya Pantai Timur, menghubungkan Pahang, Mersing sampai ke Johor Bahru dan cadangan lebuh raya Segamat - Kluang - Pasir Gudang atau dikenali sebagai Lebuh Raya Seludang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semua perkara yang saya sebutkan tadi merupakan elemen-elemen penting dalam kerajaan negeri merangka pelan penyuraian trafik negeri Johor berdasarkan input-input daripada semua pihak sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam
Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya tangguhkan Persidangan hingga jam 11.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.20 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Hari ini adalah hari terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.
Esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa dan seterusnya YAB Menteri Besar Johor akan membuat penggulungan pada hari Ahad, 19 Mei 2024 atas perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Oleh kerana kita masih lagi ramai pembahas yang boleh bercakap. Jadi hari ini kena strict sikit. Tak boleh melebihi masa ya. Kalau nak ikutkan saya nak bagi 15 minit sahaja seorang. Oleh kerana itu, pastikan Ahli-Ahli Yang Berhormat bercakap, berbahas mengikut masa yang telah diputuskan. Saya jemput Yang Berhormat Mahkota.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Johor, makmur sejahtera. Pertama sekali Mahkota ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan kepada Mahkota untuk mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan. Mahkota menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah merasmikan Persidangan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Insya-Allah kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan yang bertambah daripada pemerintahan raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata dan negeri. Semoga di bawah pentadbiran Tunku, kerajaan sentiasa diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan. Syabas dan tahniah juga Mahkota ucapkan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Johor yang diterajui oleh Menteri Besar muda, segak, bergaya, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang cakna merealitikan pelbagai usaha dengan turun padang saban hari.
Sifatnya akrab, langkahnya tegas, jejak bertapak diikuti rakyat yang sentiasa ampuh menepati pelbagai cabaran. Teruskan Yang Amat Berhormat kerana kita sepakat terus bertekad mendukung kepimpinan kerajaan negeri Bangsa Johor dengan penuh luhur. ‘You are not alone..
Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker, mohon mencelah. Timer tak berjalan.
Saya baharu sahaja tekan button. Saya minta pengurusan untuk pastikan, kita punya timer tak bergerak.
Macam ada masa kecemasan untuk Mahkota.
Tak apa Yang Berhormat teruskan. Saya dah tengok pada jam tangan saya.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Takut terlebih pula dia ni.
You are not alone Sir, I’m here with you. Yang Berhormat Datuk Speaker sebelum saya meneruskan perbahasan ini, izinkan saya untuk merakamkan ucapan, Selamat Hari Ibu kepada golongan wanita yang sentiasa menjadi permata dalam kehidupan, penyeri rumah tangga, penghibur suka dan duka. Serai serumpun, sirih sejunjung, diletak orang di tengah laman, kasih ibu tiada penghujung, menjadi sanjungan hingga akhir zaman. Selamat Hari Guru juga diucapkan kepada semua Pendidik. Garudi berhulu kerinci hilang, ketemu gajah dipinggiran hutan, kepada guru yang kami sayang, hidupmu berkah diredhai oleh Tuhan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota amat berbesar hati dan terharu dengan Titah Baginda Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang memahami keresahan Bangsa Johor dalam menghadapi situasi ekonomi global yang tidak menentu. Khususnya berkaitan peningkatan kos sara hidup rakyat, rata-rata kesulitan dan keprihatinan ini dirasai oleh semua peringkat namun tentunya golongan B40 lebih terkesan lagi. Sesungguhnya kesan telah diangkat sebagai langkah proaktif, sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor hasil teraju Menteri Besar muda Dato’ Onn Hafiz. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah atas inisiatif bersasar yang digerakkan bagi membantu rakyat. Macam-macam nama ada. Bantuan persekolahan, bantuan musim perayaan, bantuan bencana, bantuan beras hinggakan orang yang nak berkahwin pun diberi sumbangan juga. Tapi jangan lupa Yang Amat Berhormat, tak ada pula hari ini, untuk nenek yang nak kahwin pun, jangan lupa di double kan subsidinya.
Tujuan agar bebanan yang ada diringankan dan kesulitan yang dihadapi dilegakan. Langkah pemimpin mesra rakyat, hidup sepakat membawa berkat, tiap langkah mendapat manfaat, masyarakat harmoni merasa nikmat. Mahkota ingin mencadangkan agar bantuan yang disalurkan diberikan juga mengikut segmentasi usia dan keupayaan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Bantuan bersasar ini khusus kepada golongan B40 yang sememangnya amat perlukan perhatian dan cakna dari kerajaan supaya mereka dapat perhatian yang sewajarnya serta tidak ketinggalan mahupun terbiar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk mewujudkan Subsidi Motosikal Pertamaku dengan kadar RM300.00 seorang bagi anak muda yang pertama kali memiliki kenderaan. Ianya dapat manfaatkan mereka untuk menjalani kehidupan lebih baik serta dapat menambah pendapatan keluarga. Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat Mahkota sedar bahawa sebenarnya rakyat masih belum pulih dari beban ekonomi ekoran pelbagai krisis masa lalu sama ada krisis prolitik, krisis kesihatan atau apa-apa sahaja. Berhadapan situasi ekonomi yang tidak menentu ini, ramai yang terpaksa mencari alternatif mengukuhkan ekonomi diri dan keluarga. Antaranya, yang dipilih ialah berniaga. Ada berniaga nasi lemak di depan rumah, ada yang berniaga goreng pisang di kaki lima. Tidak kurang juga yang berniaga di bahu jalan dan mereka ini dituduh penceroboh. Mereka dilihat melanggar Undang-Undang Kecil PBT dan Jabatan kena ingat bahawa mereka ini mungkin dalam keadaan terdesak demi kelangsungan hidup. Oleh yang demikian, alangkah baiknya jika Pihak Berkuasa Tempatan bantu peniaga-peniaga kecil ini dengan memberikan mereka lesen perniagaan sementara, bantu mudahkan prosedur-prosedur serta pensyaratan PBT, PTD, JPS, percepatkan kelulusan mereka, alangkah baiknya dan harmoninya jika perkara ini dapat dilaksanakan. Seluruh sistem akan dapat manfaat dari tindakan yang lebih berbudi bicara. Kerajaan negeri dilihat prihatin. Jabatan kerajaan dilihat membantu dan secara tidak langsung menambahkan sumber pendapatan mereka dengan mengutip bayaran lesen sementara.
Yang Berhormat kawasan pula dilihat membela peniaga kecil untuk meneruskan kehidupan serta dapat menyara kehidupan dan semua dapat manfaat. Taklah perlu datang dengan
Penguatkuasa dan jentera untuk merobohkan. Hal ini juga ada selari dengan Titah Ucapan Baginda Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, agar kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat atas setiap tindakan apatah lagi berkaitan dengan keperluan untuk kelangsungan hidup. Berkaitan langkah pelaksanaan gerak kerja PBT juga, Mahkota menghargai usaha dan tanggungjawab semua pihak. Namun demikian, mohon agar PBT dapat menyelenggara, memantau, meninjau atau apa-apa yang perlu berkaitan khususnya pokok-pokok besar yang telah tua. Kebimbangan ini tentunya amat berasa bagi mengelakkan strategi pokok tumbang hingga mengorbankan nyawa sebagaimana yang berlaku di Jalan Pinang, Kuala Lumpur. Moga DUN Mahkota dan negeri Johor amnya, terlindung daripada apa sahaja musibah ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat juga, Mahkota melahirkan kebimbangan berikutan kewujudan monyet-monyet liar di kawasan Mahkota. Isu pembiakan monyet yang terlalu banyak menimbulkan keresahan penduduk di kawasan kampung-kampung dalam DUN Mahkota sehinggakan mengganggu aktiviti penduduk setempat. Banyak aduan telah dibuat kerana gangguan monyet liar sehinggakan ada menyebabkan kecederaan.
Sehubungan dengan itu, Mahkota mohon agar pihak kerajaan mengkaji mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah ini kerana perangkap melalui sangkar kurang bagus. Monyet ni dah masuk ‘U’, dia dah tahu sangkar itu untuk bunuh dia. Monyet ini membiak dengan cepat oleh itu, diharapkan PERHILITAN, EXCO ada tak? Oleh itu, diharapkan kepada PERHILITAN lebih proaktif untuk atasi monyet liar ini. Jadikan ini perkara keutamaan juga, jangan bila penduduk tanya, jawapannya senang saja, suruhlah YB buat sangkar. Adakah cara ni benar-benar berkesan?
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjunjung Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan 3R Johor juga menyentuh berkaitan dengan peri pentingnya kestabilan politik bagi kemajuan sesebuah kerajaan. Baginda turut menasihatkan supaya pihak agar tidak mengambil mudah terhadap anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian di negeri dan isu sensitif melibatkan, Agama, Bangsa dan Raja. Bagi memastikan 3R ini tidak dipolitikkan, pendekatan penuh bijaksana, terancang dan berhemah perlu diambil. Di Mahkota terdapat banyak rumah ibadat yang telah terbina sejak sekian lama dan kebanyakan rumah ibadat ini tidak diwartakan dan sejak kebelakangan ini sering didatangi oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan ianya mengundang keresahan serta tidak selesa masyarakat kerana tindakan itu boleh mencetus konflik 3R.
Sehubungan dengan itu, Mahkota mencadangkan agar diberi ruang permohonan baharu sebagai langkah alternatif penstrukturan semula memandangkan ia adalah isu membabitkan masyarakat setempat yang boleh menyentuh sentimen agama dan kaum, apatah lagi DUN Mahkota didiami oleh masyarakat majmuk pelbagai bangsa dengan langkah tersebut tentunya usaha dapat dibuat dengan cara terbaik. Ibarat menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berserak. Malah rumah ibadat yang diwartakan akan memberi imej positif kepada kerajaan juga. Di samping itu, tanah-tanah lama juga dapat dikenal pasti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota mengakui malah memuji langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Dalam aspek memastikan kelestarian masyarakat dibuat sebaik mungkin. Sememangnya banyak program yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuklah Program Pemerkasaan Ketua-Ketua Kampung. Bagi penyelenggaraan dan kebersihan kampung yang dilancarkan pada 24 Februari 2024, dan Program Johor Bersih yang tuan rumahnya PBT. Jika dilihat dari segi perancangan ianya amat baik namun kurang ‘umph’ atau tidak capai KPI khususnya kepada golongan tumpuan. Mungkin kerana program dibuat secara serentak. Setiap kampung melaksanakan program tentunya memerlukan tenaga yang mencukupi termasuk peralatan. Tapi bila buat serentak itu yang menyusahkan
pelbagai kekangan kerana tidak cukup tenaga manusia. Tidak ada peralatan mencukupi dan akhirnya jadilah apa yang dikata asal buat tapi tak berkesan. Sekadar melepaskan batuk di tangga. Untuk apa-apa perlaksanaan program pastinya ada perancangan dan paling penting adalah kesan atau pun keputusan akar umbi. Lari pulak. Benar bahawa semua pihak yang melakukan yang terbaik untuk membantu masyarakat tapi kadang kala jika kita gagal merancang perlaksanaannya ia boleh bertukar menjadi kemarahan rakyat. If we fail to plan, we plan to fail, dengan izin. Biarlah apa yang dilaksana mencapai keputusan terbaik pada akhirnya kerana apa gunanya bijak menilai, pandai merancang, tahu melaksana, namun hasilnya ke mana.
Tepi selusuh batang jerami, pokok rotan tumbuh bersirat, bertolak ansur saling memahami, rakyat muafakat bertambah erat. Bertolak ansur saling memahami, rakyat muafakat bertambah erat, erat rakyat makmur negeri, Bangsa Johor dinaungi rahmat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam sesi perbahasan yang lalu, Mahkota ada menyuarakan berkaitan musibah banjir. Mahkota berterima kasih dan amat menghargai penglibatan semua pihak dalam menguruskan bantuan kepada rakyat yang terjejas dan tidakan yang telah dialami. Namun begitu diharapkan agar penambahan kurang upaya, namun begitu diharapkan agar ada penambahan baik dalam pengurusan khusus kepada mereka yang sakit, lemah, kurang upaya dan tidak dapat tinggal di pusat pemindahan sementara. Oleh itu, sebab-sebab ini mereka tidak diberikan sumbangan walhal mereka juga adalah mangsa. Mahkota amat mengharapkan supaya kerajaan persekutuan atau negeri kaji semula perkara ini jangan sampai kita hilang keberkatan kerana disumpah seranah oleh mereka yang dizalimi. Mahkota yakin tindakan menyusur akar perlu dilaksana dengan perlaksanaan melalui pengesahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, oleh penghulu, ketua kampung, imam dan mereka yang tinggal di dalam kawasan kampung berkaitan. Soal penipu, ditipu, tertipu tentunya akan dapat ditangani sekiranya tindakan serampang dua mata, crosscheck dengan izin dilakukan dengan perlaksanaan dibuat secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak bersama-sama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan soal perumahan pula. Benar bahawa banyak rumah-rumah dibina, namun masalah besar adalah berkaitan kelulusan pinjaman beli rumah yang masih berlarutan. Dalam hal ini Mahkota ingin menyorot kembali kepada cara lama. Kita ambil tauladan orang lama iaitu Rumah Mampu Milik tidak pinjam dengan bank tapi dibayar kepada kerajaan terus. Cara ini dapat mengelakkan permohonan ditolak sebab pemohon tak layak kerana birokrasi. Kalau dulu kita boleh buat sistem begitu kerana sekarang tak boleh. Johor di antara negeri yang kaya, Johor is the best, Johor must always be champion. Dari itu, cara yang paling baik adalah untuk rakyat mendapatnya ialah dengan cara sewa beli sebagaimana dilaksanakan dengan sebelum ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker...
Yang Berhormat tinggal 2 minit.
Ha? Dua minit?
Ya, Yang Berhormat cakap tadi 5 minit bila perakam waktu dibetulkan.
Oh, bukan kira tolak tadi ya.
Tak boleh Yang Berhormat.
Kitakan kenal dah lama.
Itu cerita lama Yang Berhormat.
Zalimlah. Yang Berhormat Datuk Speaker...
Yang Berhormat Datuk Speaker, Peraturan Tetap Bilangan 45(13) seseorang ahli itu tidak boleh sesekali menggunakan bahasa yang kesat menuduh ke atas diri seseorang ahli termasuk Yang Berhormat Datuk Speaker.
Takpelah saya guna kuasa saya. Jemput, Yang Berhormat.
Sri Medan ni memang suka kacaulah. Ha, tak hilang, orang tua. Saya ingin apa ni mencadangkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkenaan dengan program Semarak Subuh. Hari ini program yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat begitu baik. Malahan ia boleh memperkukuhkan jalinan silaturahim tetapi yang menjadi masalah hari ini ialah peruntukan tu tak cukup. Dulu di surau dan masjid, subuh-subuh cuma ada dua tiga saf. Tetapi kehadiran Yang Berhormat kawasan atau kak long kawasan, benda ni bertambah daripada 3 saf kepada 6 dan 7 saf. Bila kita datang, pasti ada minuman. Bila kita datang pasti ada surat. Jadi kita minta supaya kerajaan negeri memikirkan perkara ini.
Mahkota ingin menekankan kepada jabatan-jabatan yang terlibat di samping EXCO-EXCO yang memegang portfolio, para kepimpinan kerajaan negeri dan termasuk kepada diri saya sendiri untuk memfokuskan memperbanyakkan program-program berimpak tinggi, turun padang bersama-sama agar dapat memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak terlewat untuk Mahkota mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas perlantikan Ahli Majlis walaupun tanpa sebarang bisikan kepada ADUN. Kecik juga hati ini. Tapi percayalah kami ADUN yang dipilih dan dicadangkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Hasni serta mendapat didikan dan belaian oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar adalah insan yang sentiasa berdiri di atas kaki sendiri. Kami akan sentiasa menghormati dan mendukung setiap keputusan yang telah dibuat namun apa yang penting adalah amanah yang digalas mesti dilaksanakan dengan penuh keadilan.
Yang Berhormat masa tamat.
Ha? Oklah saya potong sikit je ya Yang Berhormat.
Sila tutup Yang Berhormat.
Ok. Saya ingin mengusulkan kepada Yang Amat Berhormat dan juga kerajaan negeri supaya subsidi haji ditambah kepada harga haji sekarang ni dah mahal. Banyak terlepas ni. Tak pelah Yang Amat Berhormat, bagi menghormati keputusan Speaker, Mahkota mohon menyokong usul yang dibawa oleh...
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati 46 orang daripada pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor. Ada ke? Takde? Dan 10 orang
pemerhati daripada Pejabat ADUN Kawasan Tiram. Bangun kalau ada. Dan, 10 orang daripada Pejabat ADUN Kawasan Mahkota.
Dijemput Yang Berhormat Skudai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Ahli Dewan sekalian, saya dengan penuh rendah diri pada hari ini mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dalam Dewan yang mulia dengan mencerakinkan suara rakyat di Skudai dan Bangsa Johor kepada tiga titik, kepada beberapa titik tumpu iaitu penoktahan kemiskinan demi masa hadapan yang baik untuk Bangsa Johor, air sebagai kedaulatan negeri, persediaan kerajaan negeri ke arah negara tua 2030 dan penguatkuasaan teras kesejahteraan.
Ahli Yang Berhormat sekalian, penoktahan kemiskinan demi masa hadapan yang baik untuk Bangsa Johor. Saya ingin memetik titah Tunku Ismail di mana baginda menitahkan agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas tahun 2025 dalam jangka masa 19 bulan. Jadi, Yang Amat Mulia Baginda meminta kita mencari, mengenal pasti di dalam kawasan DUN siapa tergolong dalam golongan miskin dan juga miskin tegar ini.
Dan, sebenarnya saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar dan juga kerajaan negeri Johor yang sentiasa berusaha dalam melaksanakan pelbagai program pembanterasan kemiskinan dan program-program membantu mereka memerlukan di lapangan. Saya faham untuk menghapuskan kemiskinan ni bukan satu isu yang mudah tetapi kita harus bertanya kembali apakah kita ni berpijak kepada realiti dan apakah yang dilaksanakan pada hari ini benar-benar dapat membanteras masalah kemiskinan. Kalau kita lihat pada perbahasan sebelum ini terdapat beberapa ADUN kawasan juga yang menyuarakan perkara yang sama. Dan, saya tak nak kita syok sendiri esok lusa mengumumkan bahawa kita negeri Johor dah capai sifar kemiskinan tapi hakikatnya dekat bawah sana, di lapangan sana ramai yang tercicir daripada data. Dan mereka yang tercicir ni akhirnya akan tertekan dengan kemajuan dan juga pembangunan. Dan, golongan miskin yang tercicir dari bantuan ini akan bergelut dengan pelbagai masalah dan akan menjadi beban kepada kerajaan negeri. Stress dengan masalah hidup, kemudian mula ambil dadah, berjinak dengan perkara-perkara tidak baik. Ibu bapa pula sibuk untuk menyediakan makanan di atas meja, anak terbiar dan terabai. Maka akan datang masalah ini seperti kitaran yang menyumbangkan masalah sosial kepada masyarakat.
Kalau kita lihat semalam YB Pemanis ada membangkitkan masalah dengan keciciran sekolah dan pembelajaran yang sangat membimbangkan. Masalah kemiskinan dan keciciran ini sebenarnya berantai dan akan berbalik kepada kita. Kalau kita lihat sebelum ini saya kongsikan sedikit apabila saya melaksanakan kerja-kerja NGO kita membantu kanak-kanak yang susah dan kita dapat lihat kebanyakan kanak-kanak yang bermasalah ini sebenarnya datang dari keluarga yang susah. Minggu lepas pun saya ada berjumpa dengan EXCO Pendidikan. Kita bawa kanak-kanak bermasalah. Apa masalah mereka, mereka menyatakan ibu bapa sibuk kerja, kemudian marah, stress, marah lepaskan kepada anak-anak. Anak-anak nak mengadu tak ada tempat nak mengadu. Jadi kitaran seperti ini akan sentiasa berlaku. Jadi kalau kita lihat dalam sidang yang lepas, saya juga telah bangkitkan isu kemiskinan. Isu kemiskinan isu penting. Sebab apa, merangkumi kita semua.
Dan sekali lagi saya nak mengingatkan bahawa Bank Dunia telah menyatakan pembanterasan kemiskinan yang paling utama adalah data. Jadi, hari ini saya tunjukkan data yang saya dapat daripada hasil mesyuarat Focus Group bagi kawasan DUN Skudai. Orang miskin adalah 10 orang dan miskin tegar adalah 13. Manakala data e-Kasih tidak sama
dengan data apa yang saya ada. Jadi, sedangkan data lapangan pula berbeza. Jadi, ini adalah perkara yang perlu kita tekankan. Hakikatnya dalam kawasan DUN Skudai lebih daripada 130,000 orang penduduk tetapi jumlah kemiskinan yang dicatatkan dan direkodkan adalah tidak sama. Jadi, saya percaya ini juga berlaku di kawasan DUN-DUN yang lain. Mungkin ada yang fikir kalau banyak golongan miskin yang kita kenalpasti ni macam mana kita nak selesaikan masalah ini? Maka akan bertambah, lebih bertambah lagi duit yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan. Betul sukar untuk kita bantu golongan miskin ini. Tetapi kita kena faham golongan miskin ini bukan semua sebenarnya memerlukan bantuan dalam segi kewangan. Tak semua sebab ada yang memerlukan pekerjaan, ada yang memerlukan bagaimana kita nak salurkan mereka anak-anak mereka supaya mendapat pendidikan yang baik. Jadi telah saya nyatakan sebelum ini bahawa kerajaan negeri perlu muncul dengan bekalan data yang tersendiri dan kalau kita lihat juga setiap DUN mempunyai pusat pengajian tinggi sendiri sebagai anak angkat. Dan, kerajaan negeri seharusnya menggunakan satu kelebihan ini dengan menjalankan satu kerjasama di antara universiti angkat dan juga syarikat-syarikat NGO dan agensi-agensi di kawasan untuk melakukan bancian kemiskinan, mengumpul data kemiskinan di setiap kawasan. Sebagai contoh di kawasan DUN Skudai, universiti angkat kita adalah UniKL.
Jadi saya sendiri dengan pihak UniKL berbincang tentang masalah kemiskinan dalam kawasan DUN Skudai. Dan, saya juga dimaklumkan pihak UNIKL sendiri bersama pelajar-pelajar mereka sudi untuk bekerjasama untuk turun ke bawah untuk memburu mereka-mereka yang miskin supaya tidak tercicir daripada data. Saya berikan contoh, ok apa yang saya telah laksanakan sebelum ini. Saya pelik kerana apa di kawasan DUN Skudai ini ramai yang datang ke pejabat saya ini adalah mereka yang mempunyai kad OKU Mental. Saya lihat datang, tak kisahlah lelaki ke, warga emas ke, ibu tunggal ke, mempunyai kad OKU Mental dan mendapat rawatan psikiatri di hospital. Jadi apabila saya siasat apa yang saya temui adalah mereka ini adalah golongan miskin bandar yang hidup di bandar, yang tertekan dengan keadaan ekonomi yang semakin meningkat, kos sara hidup yang tinggi, dan juga tekanan-tekanan seperti sewa rumah yang mahal. Jadi, pendapatan mereka bawah daripada RM1,000 tetapi sewa yang hendak di bayar sebagai contoh di kawasan flat Ungku Tun Aminah yang flat seburuk-buruk flat itu yang saya dah bawa isu sebelum ini pun, seburuk-buruk flat itu RM1,000.00, untuknya RM800 sehingga RM1,000 sewa setiap bulan. Jadi bagaimana miskin bandar ini untuk kita tangani. Dan saya percaya kemiskinan itu sebenarnya berbeza di setiap kawasan. Saya tidak boleh samakan kemiskinan dikawasan dengan kawasan Jementah sebagai contoh. Saya tidak boleh samakan kemiskinan di kawasan saya dengan kawasan seperti Layang-Layang sebagai contoh. Jadi perlunya data, dan dengan data inilah kita boleh mencari segala penyelesaian kepada permasalahan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlanjur saya sentuh berkenaan dengan rumah dan tekanan hidup. Suka untuk saya ingatkan bahawa rakyat Johor tidak menolak pembangunan dan juga kemajuan. Tetapi jangan sampai satu hari nanti kemajuan dan pembangunan itu menindas rakyat tempatan sendiri. Baru-baru ini sedap punya sedap saya scroll facebook kemudian saya terjumpa satu iklan perumahan yang buat saya terkejut adalah, iklan-iklan rumah ini menjual rumah daripada syarikat developer yang terkenal, daripada agen hartanah menjual hartanah-hartanah di Johor, rumah-rumah di Johor dalam Singapore Dollar. Iklan-iklan dalam Singapore Dollar dan siap ada perbandingan lagi dekat dalam laman web menyatakan, oh kalau kita beli SGD1.1 apartment di Singapore hanya dapat rumah yang kecil 1 bilik sahaja. Tetapi kalau beli hartanah dekat Johor dapat rumah yang besar. Dan apa yang saya baca sedihnya untuk saya lihat komen-komen di bawah tidak kira lapisan masyarakat, tak kira lapisan bangsa, kita orang Johor mampu tengok sahajalah harga rumah sekarang. Merempat di tanah sendiri sahajalah rakyat Johor ini tidak lama lagi. Jadi banyak, bukan hanya satu rupa-rupanya bila saya cari banyak semua rumah-rumah di kawasan Pasir Gudang di kawasan Tropez Residence Danga Bay dan semua kawasan-kawasan lain ini, Kempas dan sebagainya semua kebanyakkannya harga rumah di jual dalam Singapore Dollar. Jadi, mana
tempat rakyat kita sekarang. Bukannya kita, mungkin generasi akan datang, adakah mereka mampu untuk beli rumah? Anak-anak kita, mungkin hari ini kita senang, tapi bagaimana generasi kita akan datang. Dan saya sebenarnya menyambut baik usaha dan keprihatinan Menteri Besar kita Dato’ Onn Hafiz di mana beliau telah mencadangkan dan memperkenalkan dasar kekang lonjakan dan spekulasi hartanah. Dan saya harap ianya benar-benar dapat dilaksanakan untuk memberikan satu jaminan kepada masa hadapan Bangsa Johor.
Saya sebenarnya penting bagi saya untuk sentuh isu ini kerana generasi akan datang ini mungkin bukan anak saya, tetapi anak saudara saudari sekalian. Dan hidup ini sebenarnya bagaikan roda. COVID sebenarnya pandemik itu mengajar kita yang mana golongan senang akhirnya bertukar menjadi susah, dan begitu juga kita, mungkin hari ini kita senang dan bagaimana pula generasi kita pada masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, air sebagai kedaulatan negeri. Tahun sebelum ini sebenarnya saya hanya menggeleng kepala apabila saya melihat perbahasan Tangkak dan Yang Berhormat lain berkenaan dengan isu permasalahan air di kawasan mereka. Tetapi tahun ini saya pula pening kepala, apa yang disuarakan Yang Berhormat lain berlaku di kawasan Skudai, kawasan bandar pula itu. Dan, Mac lalu ketika hari pertama persekolahan penduduk kawasan Taman Bukit Impian dan Impian Emas terpaksa berhadapan dengan masalah air. YB dah 84 jam dah tak ada air ini apa cerita? SAJ hendak masuk Genius Book of World Record ke? YB lebih 48 jam tak ada air, satu tanker pun tak ada YB. Dah lah tak berjadual, kata hendak hantar tetapi satu lori pun tak nampak YB. YB satu minggu sampai 2 kali tak ada air, setiap kali alasan low level, ini keperluan asas minggu depan hari apa pula tak ada air YB? Bertalu-talu sindiran daripada penduduk kawasan menghubungi saya berkenaan dengan isu ketiadaan air. Jadi saya bersetuju dengan titah Pemangku Sultan Johor di mana air Johor adalah kedaulatan dan juga khazanah negeri yang perlu dijaga dan dipelihara. Oleh yang demikian isu air harus menjadi salah satu tumpuan kerajaan negeri Johor selaras ke aras Johor menjadi negeri maju pada tahun 2030. Apa gunanya kemajuan kalau masih ada rakyat yang terpaksa mengeluh untuk dapatkan kemudahan asas seperti air dan di kawasan DUN Skudai, terutamanya pada tahun 2024 sering berlaku bekalan air terputus secara tidak terancang termasuklah di kawasan Ungku Tun Aminah dan Taman Impian Emas yang merupakan hotspot masalah berulang. Dan masalah ini bukan sahaja pada musim Aidilfitri, musim biasa pun berlaku kebocoran paip, tekanan air rendah, itu lah sahajalah alasan yang kita terpaksa terima kita terpaksa telan. Dan, saya sebagai wakil rakyat juga sebelum ini telah menzahirkan akan kepentingan dan keperluan untuk menaik tarafkan sistem perparitan di kawasan Skudai khususnya Ungku Tun Aminah dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah pada tahun 2023. Tetapi dukacita dimaklumkan permohonan penggantian paip di kawasan ini masih belum diluluskan. Maka, saya harap pihak Ranhill SAJ boleh mempertimbangkan semula keperluannya dan mencadangkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad, PAAB supaya peruntukan penggantian paip lama dapat dilakukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kualiti sumber air mentah merupakan faktor utama dalam memastikan kecekapan logi air kawasan. Langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasan harus diambil oleh pihak berkuasa termasuk Badan Kawal Selai Air Johor (BAKAJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain agensi di seluruh Johor dalam memantau aktiviti-aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air mentah di kawasan water intake dengan izin. Komitmen harus diberikan oleh jabatan-jabatan ini untuk memastikan NTU, Nephelometric Turbidity Unit air sentiasa berada dalam nilai yang terkawal agar loji dapat beroperasi sepenuhnya. Setiap kali berlaku masalah yang membabitkan penutupan loji ia mengambil masa berhari-hari untuk memulihkan bekalan air. Jadi, rakyat Johor sebenarnya mereka dan berbayar mereka berhak untuk mendapat sumber asas ataupun perkara asas yang terbaik dalam kehidupan mereka. Izinkan saya ambil contoh, bekalan air terputus secara tidak terancang di kawasan zon 6B Taman Impian Emas. Masalah tersebut berlaku berulang-ulang daripada bulan Mac sehinggalah hari itu hingga saya terpaksa turun padang untuk memberikan penjelasan dan
mengambil tindakan. Apabila penduduk sendiri semak dengan SAJ, tiada penjelasan diberikan. Apabila saya sendiri siasat dengan beberapa pihak saya diberitahu bahawa pencemaran ataupun kekeruhan air berlaku dan menyebabkan proses rawatan air di loji rawatan terganggu. Pencucian atau clarifying perlu dilakukan. Jadi, saya hendak tanya di sini apa sebenarnya yang menyebabkan kekeruhan dan pencemaran yang berlaku sehingga NTU mencatat bacaan 5,000 NTU? Jika ya ada berlaku pencemaran ini apakah tindakan yang dikenakan ke atas entiti yang menyebabkan perkara ini berlaku? Jika tidak dapat dikesan tidak dapat kesan apa sebabnya? Dan semua jawapannya bukannya saya hendak tahu, tapi berhak di tahu oleh penduduk kawasan. Dan bila isu ini berlaku yang akan dimaki hamun, yang akan menerima sumpah seranah penduduk adalah saya. Dan saya cadangkan selepas ini pegawai-pegawai turun ke bawah, jawab kepada penduduk. Jadi, hari ini saya juga hendak menekankan kepentingan operasi Loji Rawatan Air Semangar di Dewan yang mulia kerana merupakan loji membekalkan air kepada banyak kawasan termasuk di industri. Jadi apakah perancangan kerajaan negeri dalam memastikan keperluan bekalan air dikawasan industri dan sekitarnya akan mencukupi pada masa hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi negara menua. Dan kalau kita lihat Malaysia turut berdepan dengan cabaran dalam mendepani status negara tua. Dan dijangkakan Malaysia bakal menjadi negara tua pada tahun 2030. Sama dengan misi kita ke arah menuju negeri maju, Johor maju. Dan ini apabila 15.3% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berusia 60 ke atas. Ini adalah mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, malah kemungkinan negara akan beralih status kepada negara tua lebih awal lagi. Dan kalau kita lihat sekuriti pendapatan bagi golongan yang berusia ini juga akan mengalami kesan peningkatan inflasi akibat kos sara hidup. Kalau kita lihat kajian, menurut kajian dilakukan oleh World Bank hampir 75% ahli KWSP mempunyai wang caruman kurang daripada RM250,000.00 pada usia 54 tahun. Dan menurut kiraan kasar hanyalah RM1,050.00 pendapatan bulanan. Kurang daripada gaji minimum. Dan ini pastinya akan menjadikan atau memberikan kesan negatif kepada kehidupan golongan ini selepas bersara.
Jadi, kalau kita lihat bagi menangani demografi penduduk ke arah negara tua semua pihak harus bekerjasama. Maksud saya dah mulai sekarang kerajaan melalui kerjasama rentas jabatan dan perlu turun ke bawah untuknya mengadakan lebih banyak program kesedaran berkenaan persediaan kita menuju ke negara tua. Bukan sahaja persediaan malah persediaan melalui kesihatan juga, program-program kesedaran. Sebab apa, sebab kalau kita lihat sekarang, sebaik saya bagi satu contoh. Ketika saya berada di Okinawa hampir sebulan duduk di sana, bersama kakak saya, saya lihat dikawasan Okinawa adalah penduduknya adalah antara kawasan di Jepun mempunyai penduduk yang tua melebihi 100 umur 100 tahun. Tetapi mereka sihat, tetapi bagaimana dengannya penduduk dekat dalam negara kita ini. Kalau kita lihat sendiri dari segi, daripada segi unjuran perubatan yang dikeluarkan Malaysia merupakan antara negara yang tinggi obesiti dan menghidapi penyakit-penyakit sampingan seperti diabetic dan sebagainya. Jadi, kelak adakah sistem perubatan kita adakah mampu untuknya menanggung mereka ini semua? Bayangkan Jepun antara satu negara yang maju tetapi tidak mampu untuknya menampung mereka-mereka yang tua ini dalam keadaan yang sihat. Tetapi bagaimana negeri Johor sendiri dalam sistem perubatan dengannya kerajaan negeri bantuan-bantuan kewangan adakah kita mampu sebenarnya dan bersedia? Tidak lama lagi sahaja 2030. Jadi untuk menghadapi persediaan ini saya minta kerajaan negeri boleh mewujudkan lebih banyak PAWE iaini Pusat Aktiviti Warga Emas sebelum tahun 2027, wujudkan lebih banyak sebab apa kajian yang dilaksanakan di Jepun, mereka memaklumkan daripada mewujudkan rumah orang tua, adalah lebih baik untuk mewujudkan lebih banyak pusat-pusat komuniti untuk warga emas supaya mereka melaksanakan pelbagai aktiviti di sana. Dan ini sangat penting, kita tidak boleh nak tunggu masanya dah dekat, baharu kita hendak bertindak, baharu kita hendak bersedia.
Jadi, kerajaan negeri perlu memikirkan apakah persediaan daripada sudut kesihatan untuk kita lakukan bagi memastikan kerajaan negeri bersedia. Kalau kita lihat sekarang ini pun, rakyat kita fikir ke kesihatan? Kebanyakannya duk makan kita dekatnya sosial media dengannya campur susu pekat, cheese semua makanan nak dicampur cheese. Jadi bagaimana tahap kesihatan kita pada akan datang. Dan ini akan menjadikan satu bebanan yang terberat untuk kerajaan negeri. Dan isu akhir yang saya hendak sentuh adalah berkenaan dengannya isu penguatkuasaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya harus menekankan isu ini kerana saya percaya semua yang duduk di dalam Dewan ini terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang sama ada diperingkat federal ataupun negeri. Sebagai salah satu ahli di dalam badan perundangan negeri Johor saya percaya mana-mana pihak penguatkuasa sekalipun, tanggungjawab kita adalah memastikan undang-undang yang diperuntukan tak kisahlah daripada PBT, daripada mana sekali bahagian pun undang-undang ini semua harus dipatuhi untuk mencapai matlamat undang-undang. Dan sebagai pihak penguatkuasa jika kita dipersoalkan oleh orang yang melakukan kesalahan tanggungjawab kita ini sebenarnya adalah untuk menerangkan kepada mereka apa kesalahan yang mereka laksanakan, apa kesalahan yang telah mereka buat, supaya mereka faham dan tidak mengulangi kesalahan tersebut lagi. Bukan apabila pihak penguatkuasaan datang kepada premis-premis ataupun datang kepada mereka yang bersalah, dia duk cakap YB yang suruh ambil tindakan. Sampai bila rakyat nak faham, kita tidak boleh, kita tak boleh lakukan perkara sebegitu. Sedangkan kita sebagai penguatkuasa kita tahu undang-undang, kita faham undang-undang tersebut, bagaimana pula kita meletakkan kesalahan kepada YB pula. Ini YB yang suruh ambil tindakan, sedangkan terang-terangan kesalahan berlaku, jadi macam mana, jadi akhirnya orang yang melakukan kesalahan ini akan tetap melakukan kesalahan balik. Lepas itu tambah lagi dia cakap apa, kalau hendak mohon rayuan pergi dekat YB, sedangkan kesalahan itu dah kesalahan yang terang-terangan jadi sebab itulah saya cakap, rakyat kita ini tidak faham undang-undang, tak patuh undang-undang sebab apa, sebab kita ini sebagai agen penguatkuasaan kita tidak melaksanakan tugasan kita dengan betul. Kalau A salah, A salah. Saya sendiri sebagainya ADUN saya dah nyatakan kepada pihak PBT sendiri sekali pun jika apa yang dilaksanakan mereka itu tindakan itu betul-betul melalui undang-undang saya tak akan masuk campur. Dan ADUN-ADUN sekalian saya pun hendak ingat jugalah bahawasanya kita ini, walaupun kita sebagai pemimpin orang cakap ADUN YB kuasa besar boleh tulis surat sokongan tetapi jangan kita sesekali salah guna kuasa. Kita sendiri kena mengajar...
Yang Berhormat maksudnya kalau ada pihak penguatkuasa hendak merobohkan gerai di kawasan Yang Berhormat, dan mereka minta tolong Yang Berhormat maksudnya Yang Berhormat tak akan tolong lah?
Tak, bukan, bukan itu Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita akan melihat kepada keadaan, sebagai contoh apa yang berlaku dekat dengan kawasan DUN Skudai apabila kita lihat gerai-gerai yang contohnya kedai-kedai yang kita boleh bantu, kita akan bantu dengan menulis surat, kita akan melihat pertimbangan, kita akan tulis surat. Kalau mereka tak ada SSM atau pun Sijil, lesen perniagaan daripada PBT kita akan bantu tetapi kita sebagai perundangan mereka yang melaksanakan undang-undang kita tak boleh membiarkan mereka melaksanakan satu perkara dengan sesuka hati. Sebab apa? Sebab itulah rakyat ini, akhirnya mereka tak akan faham undang-undang. Mereka akan rasa tak apalah kita minta sokongan YB, senang nanti lepas, nanti lulus semua. Jadi, itulah apa yang saya nak tekankan pada hari ini. Dan akhir kata, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya menyusun sepuluh jari sekiranya terdapat kata-kata saya yang mengguris perasaan mana-mana pihak. Sesungguhnya apa yang saya sampaikan pada hari ini tidak lain dan tidak bukan untuk kebaikan Bangsa Johor yang mana mungkin saudara kita, anak cucu, cicit kita kelak. Kita semua dalam Dewan ini sebenarnya adalah YB, Yang Berkhidmat. Penjawat awam pun adalah YB, Yang Bekerja, Yang Berkhidmat. Kita ada satu tugasan yang
sangat berat sebenarnya dan satu perkara yang kita kena ingat, apa yang kita semai dan kita lakukan pada hari ini keputusannya bukan hari ini tapi hasilnya akan dituai oleh generasi akan datang. Maka, berwaspadalah kita semua, sekian, terima kasih.
Tahniah Yang Berhormat. Bila Speaker kata tahniah itu, itu kira hebatlah tu. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan sekali lagi mengalu-alukan kehadiran pemerhati kumpulan kedua seramai 48 orang daripada Pejabat Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor. (Dewan bertepuk). Tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekian alam, selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW kepada keluarga dan sahabat Baginda, tabii’, tabiin dan para ulama. Semoga memperolehi ihsan Allah di hari pengadilan kelak.
Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya, patik mewakili warga DUN Pasir Raja merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih di atas Ucapan Perasmian Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi ruang dan peluang turut serta mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan kali ini. Seperti firman Allah di dalam surah al-Kahfi ayat 84 yang bermaksud, ‘Sesungguhnya kami telah memberikan kepada kekuasaan memerintah di bumi dan kami berikan kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya’. Mudah-mudahan apa yang dibahaskan ini dapat memberi manfaat dan melakukan yang terbaik buat Johor dan khususnya buat warga DUN Pasir Raja.
Buah salak di dalam kantung, kulitnya keras isinya kelat, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan tahniah dan terima kasih buat Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pelaksanaan beberapa program seperti Semarak Subuh, Jualan Rahmah, Jualan Kasih Johor, Bantuan Kasih Murid Johor dan lain-lain lagi sepanjang Januari hingga Mei tahun ini. Semalam juga kita diberikan peruntukan bagi pelaksanaan Sukan Bangsa Johor, Program Misi Jejak PMKS dan Johor Future. Pasir Raja juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Belia Negara yang jatuh pada hari ini 15 Mei 2024 yakin boleh. Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat dan esok Selamat Hari Guru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti mana yang kita tahu Program Semarak Subuh dilaksanakan bagi membolehkan semua Ahli Yang Berhormat yang beragama Islam menunaikan solat subuh berjemaah. Kuliah subuh dan seterusnya menyantuni para jemaah di masjid atau surau bagi setiap pagi Jumaat dalam kawasan DUN masing-masing. Di DUN Pasir Raja Program Semarak Subuh mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan hingga mencatat ke angka 700 jemaah yang hadir pada minggu pertama dilaksanakan. Pasir Raja yakin sekiranya program seumpama ini terus dijalankan bilangan jemaah yang hadir akan bertambah dari semasa ke semasa dan secara tidak langsung mengeratkan lagi ukhwah di antara pemimpin dan rakyat. Oleh yang demkian, Pasir Raja berharap agar di masa akan datang peruntukan bagi Program Semarak Subuh ini dapat ditambah. (Dewan bertepuk). Dengan itu, wakil Rakyat bukan sahaja boleh berjemaah di masjid dan surau seminggu sekali malah seminggu dua, tiga kali pun boleh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada usaha kerajaan negeri serta Kementerian Komunikasi Malaysia yang sentiasa
mencari jalan positif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan capaian internet di negeri Johor. Tidak dinafikan kemudahan telekomunikasi seperti talian internet hari ini menjadi keperluan bagi setiap individu terutama sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia. Masyarakat sememangnya memerlukan teknologi terkini dan canggih untuk melakukan pekerjaan harian tetapi yang kita lihat kemampuan kita tidak setanding teknologi. Minggu lalu, kerajaan negeri telah melancarkan perkhidmatan WIFI Premium, Maju Johor bagi menaik taraf capaian internet di negeri ini. Sekali gus membolehkan Bangsa Johor menikmati akses internet pantas dan meluas ke 23 lokasi yang melibatkan 63 hotspot menjelang Julai nanti. Inisiatif terbaharu kerajaan Johor ini dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 12,000 keluarga terutamanya di 25 kawasan hotspot, PPR dengan kadar kelajuan minimum pada tahap 1 Gbps. Fasiliti sama juga turut disediakan di premis perkhidmatan kerajaan seperti Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru dan Pejabat Tanah Daerah Kulai. Serta turut menyediakan kemudahan internet pantas yang akan diperluaskan ke Institusi Pendidikan serta Kolej Universiti Islam Sultan Ibrahim Johor Bahru dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor di Kulai di dalam DUN Pasir Raja.
Pada masa yang sama difahamkan WIFI Premium Maju Johor juga akan dipasang di Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Che’ Besar Hajah Kalsom, Kluang. Selain itu, dilaporkan juga sebanyak 287 menara komunikasi dibina di seluruh negeri Johor bagi membantu capaian internet 100%. Sesungguhnya usaha ini amat baik dan dipuji namun, masalahnya ialah ianya tidak selari dengan usaha kerajaan negeri dan kementerian berbanding dengan syarikat penyedia perkhidmatan internet yang terbabit.
Contohnya, sehingga kita dilihat masih terdapat ketiadaan rangkaian telekomunikasi walalupun telah sedia ada beberapa menara berkenaan. Di kawasan DUN Pasir Raja, menara ada tetapi liputan masih lembab juga. Antara menara yang telah wujud tetapi rangkaian atau pencapaian internetnya tidak memuaskan adalah seperti di FELDA Bukit Ramun. Oleh itu, diharap syarikat telekomunikasi tersebut sewajarnya segera bertindak mempertingkat mutu perkhidmatan mereka agar menara-menara terbabit tidak menjadi gajah putih sebaliknya berupaya meningkat pencapaian internet bagi manfaat pengguna di kawasan liputannya. Keperluan tersebut kini menjadi keutamaan bagi pelajar sekolah, guru, peniaga bahkan seisi penduduk di rumah pun pencapaian memerlukan internet sejajar peningkatan kefahaman ilmu digital di kalangan mereka bagi meneroka dunia maklumat. Oleh yang demikian, sekali lagi Pasir Raja mahu syarikat-syarikat TELCO ini menambah baik rangkaian capaian internet mereka seperti yang ditawarkan dalam perkhidmatan perniagaan mereka masing-masing. Natijah yang lebih besar daripada rangkaian internet laju yang mencapai hampir 100%, kita berupaya menarik pelabur domestik atau pun pelabur luar untuk membina perniagaan di tempat kita yang mana dengan sendirinya kawasan setempat dapat limpahan atau tempias penjanaan kemajuan ekonomi serta pembangunannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saban tahun di beberapa kawasan di dalam DUN Pasir Raja pasti dlanda banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh walaupun pelbagai strategi pengurusan banjir dan persediaan awal menghadapi banjir telah diterapkan. Masalah ini telah berlarutan sekian lama dan ianya akan terus berlarutan. Pasir Raja khuatir sekiranya pemasalahan ini tidak diselesaikan segera masalah-masalah lain akan timbul seperti tanah runtuh, jalan rosak dan pecah dan sebagainya. Ramai juga pemilik tanah yang mengalami kerugian besar kerana tanaman mereka musnah dan rosak serta kehilangan saiz tanah terbabit. Keadaan ini amat merisaukan walaupun ia berlaku hanya pada musim hujan lebat.
Pasir Raja mengharapkan adanya kolaborasi di antara kerajaan negeri dengan pihak-pihak terbabit khususnya FELDA atau syarikat-syarikat perladangan bagi mencari solusi bersama untuk menangani isu banjir kilat, pembersihan, penjagaan dan pemantauan berkala. Sistem saliran dan perparitan di kawasan masing-masing. Kita tidak boleh mengharap masalah ini
disandarkan kepada pihak kerajaan negeri semata-mata. Biarlah semua pihak peka dan ada rasa tanggungjawab bersama. Seperkara lagi, bagi mengenal pasti potensi banjir kilat dan ketidakupayaan sistem saliran dan perparitan berfungsi dengan baik sewajarnya diwujudkan satu pasukan pemantau yang perlu mengemukakan laporan supaya tindakan awal dan proaktif dapat diambil bagi kita bersiap siaga menghadapinya. Janganglah sudah kalah baru berkubur.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sektor pertanian yang merangkumi perladangan dan penternakan adalah penting untuk menjamin bekalan makanan yang cukup untuk anggota masyarakat. Sektor ini juga penting untuk membangunkan kawasan-kawasan pendalaman. Sektor pertanian sering dilihat sebagai satu aktiviti ekonomi yang boleh membawa impak positif kepada para petani sendiri. Sektor ini juga mampu menjana pendapatan besar kepada negeri Johor. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil boleh menjadi penyambung rezeki. Kesimpulannya, semua impak positif yang dihasilkan melalui sektor pertanian menunjukkan betapa pentingnya sektor ini. Oleh yang demikian, sekali lagi Pasir Raja mencadangkan untuk mengusahakan agro makanan di P18606 Kampung Sungai Telor seluas 236.1 ekar yang dahulunya merupakan kawasan tadahan hujan untuk dijadikan ladang tanaman kontan. Permohonan telah pun dihantar ke Pejabat Pertanian Daerah Kota Tinggi. Besarlah harapan Pasir Raja permohonan ini disokong dan mendapat perhatian daripada EXCO Pertanian Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja mengambil cakna keperluan masyarakat Islam sejajar dengan seruan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh tadbir urus syiar Islam. Oleh yang demkian, Pasir Raja ingin memaklumkan bahawa masyarakat muslim di Taman Daiman Jaya iaitu salah satu kawasan perumahan di dalam DUN Pasir Raja sehingga kini masih tidak mempunyai masjid atau pun surau. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa menumpang di sebuah bangunan dewan orang ramai di taman tersebut untuk menunaikan solat berjemaah dan dijadikan surau sementara. Sesuai dengan peningkatan jumlah penduduk maka Pasir Raja melihat keperluan menyediakan sebuah surau atau masjid bagi menjadikan tempat beribadah khusus untuk penduduk muslim di taman ini adalah satu keperluan yang perlu dipandang serius. Semoga ianya dapat dipertimbangkan pihak kerajaan negeri supaya aktiviti syiar Islam dapat dipertingkatkan di kalangan penduduk di situ.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat Johor Lama Daerah Kota Tinggi dinobatkan sebagai Daerah Bersejarah, mulanya di sini 1528. Sepanjang sungai Johor terdapat peninggalan sejarah kerajaan Johor Lama. Izinkan Pasir Raja mengimbas kembali sejarah Johor Lama 511 tahun yang lalu. Sultan Alauddin Riayat Shah Ke-2 dilahirkan pada 1513. Ayahandanya Sultan Mahmud Shah dan bondanya Tun Fatimah bersemayam di Kopak Bentan. Pada tahun 1528, selepas ditabalkan sebagai Sultan, Sultan Alauddin serta Bendahara Paduka Tuan yakni Tun Hisham Barakah dan pembesar-pembesar lain keluar dari Kampar menuju ke Pahang. Kemudian, Baginda berangkat ke negeri Johor untuk berbuat negeri dan bersemayam di Pekan Tua. Baginda membuat kota pertahanan di hulu Sungai Telor, Pekan Tua merupakan pusat pemerintahan pertama kerajaan Johor. Pusat pemerintahan ini dilengkapi dengan binaan kubu pertahanan yang dikenali sebagai Kota Kara. Pada tahun 1535, angkatan perang Portugis telah menyerang Pekan Tua dan Kota Kara. Oleh kerana sungai yang kecil dan kapal besar tidak dapat melaluinya, angkatan perang ini kembali ke Melaka. Sultan Alauddin Riayat Shah berundur selepas Portugis menyerang dan membuat pusat pemerintahan di Kota Sayong. Kawasan ini lebih selamat kerana kapal perang musuh sukar melintasi sungai yang sempit. Sejak itu, Sayong menjadi pusat pemerintahan Sultan Alauddin. Setelah 6 tahun bersemayam, Sayong dijadikan pusat pemerintahan kedua kerajaan Johor dikenali dengan nama Kota Sayong.
Sekarang ini di tapak kota ini terdapat makam-makam lama, Makam 1 dan 2, Makam 3, Makam 7 dan Makam 12. Di sinilah juga dikatakan tempat kelahiran Badang yang menjadi
lagenda Melayu satu ketika dulu. Semua tempat-tempat ini, tempat-tempat bersejarah ini terletak di dalam DUN Pasir Raja. Pasir Raja sangat berbesar hati sekiranya tempat sejarah ini dipelihara dan dibaik pulih serta sangat molek jika ianya dijadikan pusat tarikan pelancong bagi menarik pencinta sejarah dan pelancong luar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita Wakil Rakyat bersama ketua-ketua jabatan sentiasa bekerjasama dalam memastikan segala Agenda Maju Johor dapat dilaksanakan demi kepentingan dan kemakmuran rakyat Johor tetapi jangan dalam keghairahan kita menjuarai kemajuan Johor, kita terlepas pandang pada keselamatan warganya. Pasir Raja sangat berterima kasih dengan kecekapan anggota Polis Daerah Kota Tinggi yang baru-baru ini telah berjaya membanteras dan menangkap serta menumpaskan pengedaran dadah sebanyak 7 kilogram di Taman Sri Saujana. Walaupun Pasir Raja difahamkan bahawa suspek menjadikan Taman Sri Saujana sebagai pusat transit bagi pengedaran dadah tersebut tetapi ianya amat berbahaya kepada lebih 10,000 warga di taman tersebut. Oleh yang demikian, memandangkan Taman Sri Saujana adalah sebuah taman yang besar yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai, Pasir Raja ingin memohon sebuah pondok Polis dibina di taman ini. Ianya diharap dapat sekurang-kurangnya membanteras kegiatan jenayah seperti ragut dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau hendak membeli cermin, belilah cermin tembus cahaya, kalau hendak jadi pemimpin, jadilah pemimpin lurus bicara. Kita yang di dalam Dewan ini adalah Wakil Rakyat yang ada tanggungjawab untuk menyuarakan apa yang terbaik bagi rakyat. Akhir kata, diharapkan kerajaan terbuka hati menerima segala cadangan yang diberikan agar ianya mampu menambahbaikkan supaya rakyat kekal percaya kepada kerajaan negeri yang memerintah. Pasir Raja dengan ini menyokong, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk). Sekian, terima kasih.
Tahniah Yang Berhormat dan tahniah juga kerana akan menjadi tetamu Allah, mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur. Dijemput Yang Berhormat Penggaram.
Patik merafak Sembah Menjunjung Kasih di atas perkenan dan titah Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor Sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Ketiga bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Daulat Tuanku. Penggaram mengucap terima kasih kerana memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam ucapan pada kali ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan zon khas ekonomi memang merupakan salah satu aspek penting dalam strategi pembangunan kerajaan negeri kerana ia boleh memberikan peluang ekonomi yang besar termasuk pelaburan asing dan pertumbuhan sektor perbankan serta kewangan tempatan. Walau bagaimanapun, adalah penting bagi kerajaan untuk tidak mengabaikan pembangunan daerah-daerah lain dari segi infrastruktur, ekonomi, dan Perindustrian. Pembangunan daerah-daerah mempunyai peranan yang penting dalam mengurangkan jurang pendapatan di kalangan rakyat dengan memperbaiki infrastruktur seperti jalan raya, pengangkutan awam dan bekalan air yang bersih di kawasan luar bandar, penduduk tempatan dapat lebih mudah mengakses peluang pekerjaan dan perniagaan. Ini akan membantu mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan antara bandar dan luar bandar serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi serata tempat. Inisiatif seperti menyokong usahawan tempatan, membangunkan industri kecil dan sederhana dan menyediakan latihan kemahiran kepada penduduk setempat akan membantu meningkatkan pendapatan rumah tangga dan mengurangkan kemiskinan.
Selain itu, pembangunan perindustrian di pekan-pekan luar bandar boleh membawa peluang pekerjaan yang stabil dan pendapatan yang baik kepada penduduk tempatan. Dengan
mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, kerajaan dapat menarik pelaburan dalam sektor-sektor seperti pembuatan, pertanian moden, dan perkhidmatan berorientasi eksport. Secara keseluruhan, sambil mengutamakan pembangunan zon khas ekonomi, kerajaan juga harus memberi perhatian yang mencukupi kepada pembangunan pekan-pekan untuk mengurangkan gap pendapatan. Melalui pelbagai inisiatif infrastruktur, ekonomi dan perindustrian, kerajaan boleh memastikan bahawa keuntungan pembangunan mencapai semua lapisan masyarakat, membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram sangat berharap agar kerajaan juga memikirkan keperluan Bangsa Johor sendiri yang mempunyai pelbagai lapisan masyarakat dari segi pendapatan yang memerlukan kepelbagaian aktiviti rekreasi dan pelancongan. Sebagai contoh, aktiviti hiking atau mendaki gunung, di mana aktiviti ini sedang mendapat tempat di kalangan Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang kehidupan dan umur. Bukan itu sahaja, aktiviti ini sebenarnya telah lama dijadikan sebagai riadah harian oleh sesetengah komuniti yang tinggal berhampiran kawasan hutan simpanan. Malangnya, bayaran permit menjalankan aktiviti hiking ini di hutan simpanan sebanyak RM10.00 setiap kali ke atas setiap individu dirasakan mahal bagi komuniti berdekatan yang sebelum ini menjalankan aktiviti ini sebagai aktiviti harian. Di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain, caj masuk ke hutan simpanan bagi menjalankan aktiviti hiking hanya perlu membayar sebanyak RM5.00 setiap kali. Terdapat juga negeri yang seperti Perak yang mengeluarkan pas tahunan kepada pengunjung di mana mereka hanya perlu membayar RM100.00 bagi yang berumur 18 tahun ke bawah, RM200.00 bagi berumur 18 tahun ke atas dan sebanyak RM10.00 untuk warga emas sahaja. Bukan itu saja, di negeri Perak, permohonan untuk mendapatkan pas bermusim ini boleh dibuat secara atas talian. Sebagai negeri yang maju sesuai dengan tagline Johor Maju, sepatutnya Johor perlu di hadapan berbanding negeri lain di dalam menyediakan platform digital. Penggaram mencadangkan agar caj masuk ke Hutan simpanan untuk berumur 18 tahun ke bawah dan warga emas serta pelajar adalah sebanyak RM50.00 setahun. Bagi yang berumur 19 tahun ke atas adalah RM100.00 setahun di dalam negeri Johor.
Yyang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram juga ingin memaklumkan keadaan Hutan Lipur Soga Perdana, Bukit Perdana yang berada di dalam keadaan teruk di mana banyak fasiliti yang rosak. Laluan tangga yang tidak mengikut standard, semak samun ditumbuhi di sekitar serta pondok rehat yang telah rosak dan berada di dalam keadaan bahaya. Saya telah dimaklumkan oleh Pejabat Hutan Daerah Batu Pahat, mereka telah membuat permohonan peruntukan bagi tujuan pembaikan pondok rehat yang berada dalam keadaan bahaya kepada pengguna. Permohonan telah dibuat kepada MOTAC namun ia telah ditolak dan kini berharap agar kerajaan negeri dapat membantu dalam perkara ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam kehidupan rakyat yang diharungi hiruk-pikuk kesibukan pekerjaan sehari, rakyat memerlukan masa dan tempat riadah bagi menjalani aktiviti rekreasi. Ia dapat membantu bagi mengurangkan tekanan kerja dan kehidupan seharian. Sudah tentu destinasi yang berhampiran kediaman seperti taman-taman rekreasi akan menjadi pilihan mudah untuk rakyat tetapi banyak tempat untuk rekreasi seperti hutan simpanan perlu dibayar. Tempat yang percuma pula di dalam keadaan tidak sempurna dan mampu mengundang bahaya. Penggaram ingin mengambil contoh Taman Rekreasi Tasik Y di Batu Pahat di mana keadaan trek jogging yang tidak bersesuaian, batu-batu interlock yang dipasang tidak rata, ada yang tinggi ada yang rendah, keadaan seperti ini mampu membuatkan pengunjung jatuh. Sebelum ini, pada November tahun 2020, bandar Batu Pahat telah dilanda banjir kilat di mana ia melibatkan kawasan Tasik ‘Y’. Seterusnya, pada tahun 2021, Tasik ‘Y’ telah dibaiki di mana ia melibatkan kos bernilai RM400,000.00 melibatkan kerja pembaikan trek jogging. Pemasangan batu interlock berbentuk ‘Y’ digunakan di jogging track tersebut di mana ia digunakan bersempena nama tasik tersebut iaitu Tasik ‘Y’. Walau
bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu, kerja-kerja pembaikan tidak dapat dijalankan dengan begitu sempurna. Pada tahun 2022, banjir kilat telah melanda bandar Batu Pahat pada bulan April dan Ogos dan ia melibatkan kawasan di Tasik ‘Y’ juga. Banjir tersebut telah menghanyutkan pasir-pasir yang ditabur di antara batu interlock. Bukan itu saja, hakisan dan mendapan terus berlaku dan ianya berlaku di tempat yang sama seperti kerosakan sebelum ini. Bayangkan, projek pembaikan berjumlah RM400,000.00 telah dibelanjakan tetapi kerosakan seperti sebelumnya masih berlaku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pengaram dimaklumi Taman Rekreasi Tasik ‘Y’ sekali lagi akan dijalankan projek membaik pulih dengan kos sebanyak RM280,000.00 di mana kaedah hamparan konkrit dan meletakkan pasir dan batu interlock seperti sebelum ini untuk membaiki jogging track tersebut. Penggaram mengalu-alukan kerja membaik pulih tetapi ia perlu berbaloi dengan kos yang dikeluarkan. Penggaram berharap PBT dapat meneliti kerja-kerja tersebut. Lokasi jogging trek yang terlalu hampir dengan tebing tasik yang mempunyai saliran longkang bawah tanah serta penggunaan batu interlock untuk jogging track adalah tidak sesuai kerana Tasik ‘Y’ ini dahulunya adalah kolam tadahan hujan dan akan sering dilanda banjir kilat. Penggaram mencadangkan agar PBT mengubah laluan trek kepada laluan baru bagi menggantikan laluan trek sedia ada yang kerap rosak. Lanskap yang indah juga perlu selaras dengan keadaan geografi kawasan tersebut. Mungkin PBT Batu Pahat mempunyai kekangan peruntukan untuk mengubah dan menjalankan projek untuk menambaih baik kawasan Tasik ‘Y’. Pandangan saya bukan pandangan profesional. Justeru Penggaram menjemput Yang Berhormat EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk datang melawat ke tempat tersebut dan berharap kerajaan negeri dapat memberi peruntukan tambahan untuk projek tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum ini Penggaram pernah membangkit berkaitan masalah sistem pengairan dan saliran serta lalu lintas, di Kampung Parit Amat, Batu Pahat. Saya tidak tahu sama ada di kawasan tersebut mempunyai master plan merancang. Kasihan penduduk kawasan Parit Amat yang terletak di kawasan perumahan dan kampung di pinggir bandar, di mana di dalam kampung tersebut berkongsi satu jalan yang kelebarannya tidak melebihi 20 kaki, serta bahu jalan semakin sempit dan selalu mengundang kemalangan. Pada asalnya, Jalan Parit Amat merupakan reserve jalan JPS, tetapi setelah terdapat rumah-rumah kampung, ditambah di sepanjang Jalan Parit Amat, ia telah dijadikan sebagai jalan utama untuk laluan keluar masuk peduduk di kawasan tersebut. Penggaram faham keperluan kewujudan pembangunan kawasan perumahan, tetapi setiap pembangunan rancangan perumahan, kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan wajib mengambil kira pertambahan penduduk di mana ia akan memberikan kesan terhadap kesesakan lalu lintas serta kesesuaian akses yang sedia ada. Tetapi, tidak masuk dek akal beberapa pembangunan kawasan perumahan telah dibangunkan, tetapi akses penduduk perumahan kawasan tersebut masih menggunakan jalan kampung atau jalan lama yang sedia ada.
Justeru, Penggaram di peringkat JTPD pernah mencadangkan agar jalan tersebut diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan, agar segala kos penyelenggaraan diletak di bahu PBT, bukan lagi Pejabat Daerah. Ia mengambil kira jumlah rumah yang bercukai pintu dikawasan tersebut serta jumlah pengguna laluan utama Kampung Parit Amat lebih tinggi daripada jumlah penduduk kampung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ingin menyentuh apa yang berlaku di Parit Amat dengan lebih terperinci agar kerajaan maklum tentang perkara yang terjadi di Parit Amat. Pembangunan taman-taman perumahan yang dijalankan di sekitarnya, dibangunkan dengan saiz yang kecil. Pembinaan rumah hanya 3 atau 4 blok sahaja membolehkan mereka untuk tidak perlu membina kolam kumbahan, rumah kos rendah, mungkin juga tidak perlu membina kolam takungan air. Kini, projek perumahan yang bernama Taman Desa Cemerlang 3, sedang dibina bersebelahan Taman Desa Cemerlang 2 dan projek tersebut telah menambak dua kaki
lebih tinggi daripada Taman Desa Cemerlang 2 bagi mengelakkan banjir kilat berlaku. Kini dengan kelulusan JPS, pembinaan saliran air Taman Desa Cemerlang 3 akan dialirkan ke kolam takungan air Taman Desa Cemerlang 2, dengan alasan kolam takungan tersebut mampu menampung kedua-dua jumlah air. Tetapi hakikatnya, hujan yang turun dalam waktu 2 jam pada bulan April yang lalu mampu memenuhkan kolam takungan tersebut serta menambah kebimbangan apabila terdapat kawasan rumah yang ditenggelami air. Bayangkan 2 jam hujan lebat, kolam takungan di Taman Desa Cemerlang 2 telah dipenuhi air, apa akan jadi selepas ini jika kolam tersebut akan dikongsi bersama perumahan yang sedang dibina di sebelah? Dan apa akan terjadi jika hujan lebat bertembung dengan air pasang laut?
Tambahan lagi, saiz longkang projek perumahan baru yang lebih besar berbanding saiz longkang di projek lama, sudah tentu kawasan perumahan lama akan menjadi mangsa dengan pembangunan baharu. Siapa yang akan bertanggungjawab dan menanggung kos kerugian jika taman tersebut dah jadi mangsa dan sering berlaku banjir kilat dan menghadapi kerugian harta benda? Bukan itu sahaja, terdapat juga rumah-rumah di situ yang dinaiki air kerana paras rumah yang rendah daripada parit utama iaitu Parit Amat. Setiap kali berlaku bencana, kita sebagai wakil rakyat sering dipersalahkan seperti tidak membuat apa-apa. Tetapi kita sebagai wakil rakyat tidak terlibat langsung di dalam setiap projek pembangunan perumahan yang diluluskan. Bagaimana JPS boleh meluluskan pelan saliran projek tersebut? Penggaram berharap ada tindakan yang boleh diambil oleh pihak JPS dan kerajaan bagi memastikan sesebuah pembangunan di kawasan tidak mengganggu kelestarian hidup penduduk dan persekitaran.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum ini Penggaram telah mendapatkan pandangan daripada JPS daerah, keperluan menaik taraf Parit Amat dari parit tanah ke parit konkrit sepanjang 3 kilometer di mana ia melibatkan peruntukan sebanyak RM22,000,000.00. Perkara ini telah dimajukan kepada pihak JPS negeri bagi menyelesaikan masalah hakisan tebing tersebut, dan Penggaram ingin mengetahui, apakah status permohonan peruntukan bagi menaiktaraf Parit Amat? Adakah ianya telah diangkat ke peringkat Persekutuan ataupun masih dianggap bukan sebagai keutamaan? Kerja menaik taraf parit ini bukan sahaja dapat memberi manfaat terhadap sistem saliran kawasan tersebut, malah ia juga menghentikan berlakunya mendapan jalan serta hakisan tebing parit. Agar pihak Kerajaan lebih memahami kedudukan sebenar perkara ini, Penggaram menjemput YB EXCO, JPS dan EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk turun ke padang bersama-sama melihat sendiri keadaan di sepanjang Parit Amat.
Penggaram sekali lagi ingin membawa isu lalu lintas di J13 Jalan Bukit Pasir yang merupakan salah satu daripada jalan utama ke Bandar Batu Pahat. Penggaram berterima kasih di atas inisiatif JKR di dalam mengurangkan konflik lalu lintas di Jalan Bukit Pasir dengan membuat median. Penggaram memandang ia merupakan inisiatif yang baik bagi meningkatkan keselamatan di kawasan yang berbahaya. Walau bagaimanapun, Penggaram sedikit kecewa apabila dimaklumkan oleh EXCO bahawa permohonan untuk menaik taraf Jalan Bukit Pasir dari 2 lorong kepada 4 lorong di dalam Rancangan Johor Lima Tahun dianggap bukan keutamaan. Penggaram ingin tahu secara terperinci, berapakah kos yang dianggar untuk kerja menaik taraf tersebut? Dengan pertumbuhan kawasan-kawasan perumahan di sekitar seperti di Tongkang Pechah, Parit Amat, dan Parit Bilal, Jalan Bukit Pasir ini pasti akan bertambah sesak dan mampu memberikan bahaya kepada pengguna khususnya di kawasan-kawasan berhampiran sekolah dan pekan-pekan berhampiran. Justeru, Penggaram berharap agar kerajaan dapat meletak projek ini sebagai keutamaan dan dimasukkan di dalam bajet yang akan datang pada hujung tahun ini.
Penggaram juga memohon kerajaan negeri Johor mengambil berat tentang traffic jammed semakin teruk di kawasan Batu Pahat.
Yang Berhormat, tinggal 1 minit lagi.
Supaya mengkaji semula dan juga mencari langkah untuk dari segi membuat jalan alternatif, jalan lingkaran luar atau laluan bertingkat. Mungkin pertimbangkan pembinaan landasan keretapi juga. Yang Berhormat Datuk Speaker, beberapa hari yang lalu beberapa pohon pokok besar telah tumbang di Pulau Pinang, KL dan juga di Nilai pada semalam, telah memusnahkan banyak buah kenderaan dan juga menyebabkan satu kemalangan jiwa serta beberapa kecederaan. Ini telah membawa kerisauan kepada orang ramai. Saya berharap kerajaan memandang serius kepada kerja-kerja pencegahan bencana termasuk merancang masa depan. Jika tidak kita bukan sahaja akan menghadapi ancaman daripada kematian, tetapi juga menghadapi gelombang pembaikan infrastruktur. Dalam keadaan cuaca ekstrim ini, kerajaan juga selalu peka dan harus meneroka jenis pokok di tanam di tepi jalan dan melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah pencegahan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekian ucapan dari Penggaram. Semoga Johor terus maju, pemimpin dan rakyatnya kekal makmur bermuafakat. Muafakat itu berkat, Allah berkati Johor. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1.05 petang
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, ada 9 orang Ahli Dewan Undangan Negeri yang masih belum berucap dan terlibat dalam perbahasan. Mereka membawa pesanan dan juga perkara-perkara daripada akar umbi. Maka sayugiahlah saya berharap kita beri peluang yang secukupnya kepada setiap Ahli Yang Berhormat yang terlibat untuk terlibat dalam perbahasan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan di sambung semula. Di jemput Ahli Yang Berhormat Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirahmanirahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, persidangan kali ini saya buka dan tutup dengan serangkap pantun. Anak itik Tok We mandi dalam, dalam kolam itu juga Tok We mandi, salam Maju Johor pembuka salam, terima kasih ruang bahas yang diberi. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mulakan perbahasan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor yang Ke-15 dengan menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT di atas perkenan dan rahmat-Nya Persidangan Dewan telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan penuh dengan nasihat, teguran dan pandangan yang pasti disambut baik semua Ahli Yang Berhormat dan menjadi tumpuan perbahasan pada persidangan kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari kedua dan ketiga dalam sesi soalan-soalan lisan telah dijawab dan diperjelaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang persoalan-persoalan yang dikemukan berkaitan dengan perlaksanaan Johor Singapore Special Economic Zone dan Special Financial Zone. Bangsa Johor yakin dengan wujudnya JS-SEZ dan SFZ ini, ianya akan membuka banyak peluang pekerjaan untuk anak-
anak Bangsa Johor khususnya untuk satu tempoh yang cukup panjang. Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan limpahan ini betul-betul dirasai oleh Bangsa Johor, Tiram harap ada satu jaminan daripada penubuhan zon ini bahawa peluang pekerjaan yang akan ditawarkan adalah benar-benar untuk Bangsa Johor dan bukannya diberi keutamaan kepada pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk. Demi memastikan hasrat untuk mewujudkan masyarakat Bangsa Johor yang berpendapatan tinggi menjelang Johor Maju Tahun 2030 dapat direalisasikan. Kita tidak mahu peribahasa, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kelaparan benar-benar berlaku. Insya Allah jika ada jaminan ini Tiram yakin Bangsa Johor tidak akan ragu-ragu dan bersedia menerima pelaksanaan JS-SEZ dan Special Financial Zone.
Yang Berhormat Datuk Speaker, titah Duli Yang Amat Mulia Tunku ada menyentuh hal perkhidmatan pembekal, perkhidmatan kemudahan asas iaitu air. Tiram juga akan membawa isu bekalan elektrik kali ini. Ini menunjukan masalah kemudahan asas ini jika tidak dapat di atasi atau tidak di atasi pastinya ianya akan merencatkan apa jua rencana kerajaan negeri dalam menuju tahun 2030 apatah lagi dengan bakal termeterainya JS-SEZ dan SFZ. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, antara taman yang terawal dalam DUN Tiram, di Taman Desa Jaya spesifiknya di lokaliti Jalan Permatang. Kerap kali berlaku bekalan air terputus, lebih menyedihkan alamak tiba-tiba air tak ada tanpa notis. Bila taman-taman yang dah berusia puluhan tahun ini pastinya masih ada golongan warga emas yang tinggal di sana yang pasti merumitkan kehidupan mereka seharian jika tiada bekalan air dirumah. Walau bagaimanapun alhamdulillah saya dimaklumkan masalah ketiadaan air tanpa notis ini telah mula di atasi tetapi masalah lain pula yang timbul. Masalah tekanan air rendah pula yang menjadi masalah di Taman Desa Jaya ini. Janganlah macam ini wahai agensi yang berkenaan. Seolah-olah dibuat main pula dengan bekalan air ini. Jadi kerajaan negeri perlu lakukan sesuatu. Kalau perlu dibuat bedah siasat dari dalaman, buatlah. Biarlah mereka yang benar-benar menyelami dan memahami semangat Bangsa Johor mengetuai pasukan yang boleh menyelesaikan masalah itu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi dengan bekalan elektrik yang senantiasa terputus. Kejadian yang berlaku di Taman Bukit Tiram semasa bulan Ramadan dan Syawal. Untuk rekod, kejadian berlaku pada 14 Mac, 25 Mac, 28 Mac, 8 April, 25 April dan yang terbaru petang semalam. Apabila pengguna membuat aduan kepada pihak TNB jawapannya penggunaan yang tinggi di kalangan pengguna. Apakah jawapan yang sama akan terus digunakan oleh pihak TNB untuk menjawab kepada aduan rakyat? Dunia zaman sekarang rasanya rata-ratanya memang banyak peralatan menggunakan bekalan elektrik. Apatah lagi sesuatu rumah itu mempunyai ramai isi rumah di dalamnya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kalau dulu kita panggil tukang urut datang rumah. Hari ini nak urut pun pakai kerusi urut elektrik. Hari ini penapis udara pun kebanyakannya dah ada banyak di rumah. Dulu masak air guna cerek jerang atas dapur, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Sekarang dah ada penapis air. Apatah lagi penggunaan gajet-gajet yang sememangnya memerlukan penggunaan bekalan elektrik pada hari ini. Lainlah zaman saya masa kecil dahulu. Main ... pun, dengan izin menggunakan bateri 2A. Itupun kalau tukar bateri kena restart balik, dengan izin level pertama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini menunjukkan kemudahan asas iaitu air dan elektrik satu keperluan utama yang perlu dibedah siasat punca masalah yang timbul. Dah kenalpasti carilah jalan penyelesaian. Jangan asyik kaji-kaji, cari-cari dah jumpa punca dan masalahnya, tak ada tindakan diambil.Kita tak nak tarif dinaikkan tetapi perkhidmatan yang diberikan terus ketinggalan selari dengan kenaikan tarif dan lain-lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Alamak, banjir lagi. Dari dulu tak henti-henti. Pening kepala, sakit badan, sakit hati, sakit poket apa lagi. Isu ini nampaknya dibangkitkan setiap kali
persidangan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dengan perubahan iklim benar, dapat panggilan telefon itu benar, kena marah itu pun benar. Kita tak boleh melengah-lengahkan lagi usaha baik pulih sama ada projek tebatan banjir, mendalamkan sungai, baik pulih tebing sungai dan lain-lain lagi. Kita khuatir kerosakan yang tidak diatasi ini akan menyebabkan kerosakan tersebut menjadi kerosakan yang berskala lebih besar yang semestinya mengancam keselamatan penduduk yang terlibat dengan kawasan-kawasan hotspot banjir terutamanya dalam fenomena hujan hari ini yang dah tak menentu masanya.
Kesan banjir awal tahun 2024, sepanjang sungai tiram dari Kampung Oren sehinggalah ke Sungai Tiram dah tak nampak bayang akan berjalan proses pembaikan di sesetengah lokasi yang rosak. Saya juga mengharapkan pihak PBT untuk senantiasa memantau projek-projek perumahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir kilat dan banjir lumpur. Pastikan pemaju-pemaju ini mematuhi keperluan dan KM yang telah diluluskan.Pemantauan berterusan oleh semua pihak baik entiti pemaju, kontraktor, perunding, penghulu, ketua kampung, saya boleh yakin ini boleh mengurangkan kesan buruk banjir pada masa akan datang.
Kejadian di Kampung Sentosa Barat baru-baru ini Yang Berhormat Datuk Speaker, sungguh kesian. Banjir lumpur itu berlaku selang sehari sepanjang musim hujan yang berlaku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini ada kes alamak lagi. Alamak, lubang lagi. Saban hari kena perli. Masuk lubang sana, keluar lubang sini Sampai tahap telinga pura-pura tuli. Kerosakan jalan yang masih lagi perlahan dari segi pembaikannya khususnya kerosakan yang bergerak. Kesian rakyat. Saban hari berdepan risiko keselamatan jika kerosakan jalan raya ini masih berlaku di banyak tempat. Dalam persidangan yang lepas telah saya bangkitkan isu ini. Yang mana jaringan perhubungan jalan darat ini amat penting dalam menghubungkan satu tempat dengan tempat yang lain. Yang pasti akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi. Jangan lupa kita nak menganjurkan Tahun Melawat Johor Tahun 2026 dan akan wujudnya JS-SEZ dan JS-SFZ. Jangan sampai kelemahan ini akan merencatkan segala perancangan kerajaan negeri selain untuk kepentingan ekonomi, keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan. Tak guna kalau kita guna teknologi itu, kaedah ini, tetapi pemantauan kurang daripada mereka yang terlibat.
Bercerita tentang jalan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram ingin mencadangkan kerajaan negeri agar diwujudkan satu portal, atau laman sesawang atau pun aplikasi yang boleh membantu rakyat untuk merujuk kepada siapa milik jalan-jalan tertentu supaya boleh dirujuk sekiranya ada kerosakan. Buat masa ini, semua kerosakan dibuat aduan kepada kepada pihak JKR. Namun, setengah jalan masih lagi di bawah pihak pemaju atau di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Dengan adanya portal atau aplikasi ini dapatlah rakyat terus merujuk kepada mereka yang dipertanggungjawabkan ke atas kerosakan jalan-jalan tersebut. Tak adalah timbul semua marah JKR sebagai contoh, akhirnya rupanya jalan tersebut di bawah penyelenggaraan pemaju sebagai contoh. Bukan saya nak back up dengan izin sesiapa tapi inilah hakikat yang berlaku.
Gunalah apa jua tools dengan izin, ada untuk mempastikan maklumat-maklumat ini mungkin boleh diakses di hujung jari. Mungkin inilah masanya segala ilmu yang diterima oleh penjawat awam melalui Bajet Tahun 2023, kemahiran teknologi digital data raya, atau pun Big Data dengan izin, yang diperolehi melalui kursus-kursus dapat digunakan. Begitu juga dengan teknologi kepintaran buatan yang ada pada hari ini. Mungkin boleh digunakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya terlupa terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah meluluskan peruntukan menaik aras dan menurap jalan masuk ke Kg Perigi Acheh yang telah tular semenjak sebelum bulan Ramadan lagi. Alhamdulilah, ketua kampungnya pun datang pada petang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak mengambil perhatian Dewan yang mulia ini untuk membawa isu berkenaan bangunan baru Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru. Sudah sampai masanya bangunan yang digunakan sejak tahun 1995 ini dibina baru seiring dengan peredaran masa. Kedua-dua pejabat ini menerima kunjungan pelawat hampir melebihi 500 orang sehari. Dengan keadaan muka bumi yang membataskan pergerakan khususnya warga emas yang perlu menaiki tangga dari kawasan letak kereta menuju ke pejabat. Kekurangan parkir kenderaan begitu ketara di Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru. Dengan peningkatan kawasan-kawasan perumahan yang meliputi 5 kawasan Parlimen, 10 kawasan Dewan Negeri dan 6 mungkin dalam daerah Johor Bahru sudah sewajarnya daerah yang berkepadatan penduduk sekitar 1.7 juta orang ini disediakan sebuah pejabat daerah dan pejabat tanah yang baru yang boleh memberi perkhidmatan yang lebih kondusif dan lebih selesa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, buat masa ini, Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah pun menumpang di pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru atau Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu seterusnya dalam DUN Tiram ini ada 2 buah PKPDK yang aktif, beroperasi. Yang saya nak bawa adalah berkaitan elaun pelatih. Ikut dasar sedia ada pelatih akan dibayar elaun bulanan hanya jika mereka hadir ke PKPDK selama 8 hari dalam tempoh sebulan. Jika kurang bilangan harinya maka tiadalah elaun yang akan dibayar.
Masalah yang timbul, pelatih ini kadang-kadang kita sedia maklum mereka adalah golongan yang mempunyai komplikasi kesihatan. Ada setengahnya terpaksa dimasukkan ke dalam hospital setengahnya terpaksa cuti sakit. Namun apabila masuk dalam hospital atau pun ada sijil MC sekali pun kalau bilangan hari dia tidak hadir ke PKPDK kurang dari 8 hari, maka elaun tersebut tidak akan dibayar. Jadi, berlakulah adil kepada pelatih-pelatih ini. Mereka bukan suka-suka tidak mahu hadir ke PKPDK.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kenaikan harga barang yang begitu ketara dan memberi kesan kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengadakan program Jualan Kasih dan kerajaan persekutuan yang mengadakan program Jualan Rahmah. Program ini dapat membantu sedikit keresahan rakyat tentang kenaikan harga barang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram merasakan sudah tiba masanya pemantauan harga barang ini dibuat secara berkala dan bersungguh-sungguh bukan sekadar melepas batuk di tangga. Dengan kekangan anggota KPDN yang mungkin menghalang penguatkuasaan tidak dapat dibuat secara menyeluruh, Tiram mengharapkan agar usahama di antara KPDN dan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) boleh diaktifkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat kerajaan mahu pun pengimbang. Pihak MTPN boleh membantu menyediakan anggota yang boleh kita panggil sebagai sukarelawan, pemantau atau agen pemantau. MTPN ini merupakan sebuah badan bebas atau pun NGO yang terdekat dengan isu-isu kepenggunaan.
Dimaklumkan, Sarawak dan Pulau Pinang telah memulakan pemantauan harga dengan bantuan pihak MTPN. Tiram bersedia menjadi DUN perintis kepada cadangan ini dan satu perbincangan lebih mendalam perlu diadakan bersama pemegang-pemegang taruh seperti Yang Berhormat EXCO, KPDN, MTPN dan agensi-agensi yang berkaitan. Tiram mohon mencadang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon kerajaan negeri melihat semula keperluan untuk membaik pulih padang-padang bola di kawasan kampung-kampung tradisi yang mungkin kadang-kadang terlepas pandang. Mewakili masyarakat DUN Tiram, di Kampung Pasir Putih,
Kampung Mulia Sg Tiram, Kampung Cahaya Baru, Kampung Tg Langsat. Mohon pihak kerajaan dapat membantu pembaikan dan naik taraf padang-padang ini yang juga digunakan oleh orang awam untuk mengadakan aktiviti di peringkat kampung. Agar ianya seiring dengan kemudahan fasiliti-fasiliti sukan yang diselenggara oleh pihak kementerian atau pihak berkuasa tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rentetan soalan Yang Berhormat Permas tentang sistem e-Rumah. Saya tak berkesempatan untuk memberi soalan tambahan kepada Yang Berhormat EXCO pada hari Isnin yang lepas.
Satu cadangan yang ingin saya bawakan kepada pihak kerajaan negeri. Rata-rata pemohon khususnya yang memohon PPR, rumah sewa kerajaan (RSK) ada memaklumkan kepada pihak Pusat Khidmat tentang kegagalan permohonan mereka yang tidak diketahui sebabnya. Pusat Khidmat pula yang perlu buat bedah siasat, bertanya dengan pemohon-pemohon ini. Adakah mereka ini mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan? Ini berlaku kerana status permohonan yang gagal tidak dinyatakan sebabnya di dalam portal e-Rumah. Kalau kata pendapatan isi rumah itu tidak layak, nyatakan je lah di portal, pendapatan isi rumah melebihi syarat. Kata pemohon ini ada pemilikan tanah dan sebagainya, nyatakan sama ada dengan jawapan anda atau pasangan memiliki hartanah lain. Atau mungkin dinyatakan situ, sila rujuk pejabat tanah dan sebagainya. Jadi pemohon itu tahu sebab kenapa permohonan mereka itu tidak berjaya. Saya mohon mencadang, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Di akhirnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram menyokong perbahasan Yang Berhormat Benut mencadangkan agar institusi ADUN ini diperkasakan sebagaimana yang dinyatakan ucapan pada hari kedua yang lalu.
Selain daripada itu, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang mengilhamkan program Semarak Subuh Johor dan tahniah kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menjayakan program tersebut. Insya-Allah, jumaat ini kita nak masuk siri yang ke-20 untuk tahun 2024 perlaksanaannya. Tiram juga menyokong ucapan peruntukan ini ditambahkan atau dinaikkan juga, Tiram mohon menyokong.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu perkara yang saya ingin bawa dalam Dewan yang mulia ini saya nak ucapkan tahniah kepada MARSAH atau kini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim atas naiktaraf di atas kolej biasa kepada kolej universiti. Tahniah buat warga KUIJSI dan alumni KUIJSI. Saya mohon mencadangkan kepada pihak KUIJSI untuk memindahkan kampus utama KUIJSI ini ke lokasi yang lebih sesuai dengan statusnya sebagai Kolej Universiti Islam. Lokasi dipilih ini mestilah sesuatu lokasi yang luas dan dengan dan memberi keselesaan kepada pelajar dan juga warga kerjanya. Kita ambil contoh, sebagai contoh di UNISHAMS, Kedah, Universiti Islam Selangor, UNIMEL, Melaka, Kolej Islam di Kelantan, UNISAS di Pahang. Mereka juga merupakan kolej-kolej islam di negeri masing-masing yang mempunyai infrastruktur kolej yang setaraf dengan taraf kolej universiti mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sedikit lagi saya nak tambah berkaitan dengan pembinaan balai polis dan juga balai bomba di Taman Kota Masai. Untuk makluman, buat masa ini kita masih lagi mengharapkan perkhidmatan balai polis di Taman Scientex dan Taman Pasir Putih, manakala balai bomba terdekat ialah di Taman Mawar, Pasir Gudang. Kalau di sebelah barat DUN Tiram ini kita mengharapkan balai bomba di Taman Johor Jaya. Jadi, saya harapkan rezab dah ada di Taman Kota Masai, saya harap kerajaan buatlah sesuatu untuk membina 2 kemudahan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak ucapkan menunaikan ibadah haji kepada semua tetamu Allah yang telah pun sampai ke Tanah Suci yang akan menuju ke sana melalui penerbangan yang telah dijadualkan. Kalau diikutkan kepada penerbangan terakhir adalah
pada 9 Jun 2024. Semoga dipermudahkan segala urusan rukun dan wajib haji dan dikurniakan haji yang mabrur, Insya-Allah.
Tahniah juga buat anak-anak yang telah berjaya dalam peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama yang baru diumumkan, Selasa yang lepas. Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada anak-anak calon SPM Tahun 2023 yang akan menerima keputusan SPM pada Isnin ini, Isnin akan datang 27 Mei dan semoga dipermudahkan urusan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Tidak dilupakan Selamat Hari Guru cikgu, semoga Hari Guru yang akan disambut esok akan terus menyemarakkan lagi semangat guru-guru, cikgu-cikgu, Laoshi, teacher, Aciriyar dengan izin anda semua adalah insan yang hebat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang saya maklumkan kali ini pembuka dan penutup ada pantun. Jadi saya nak tutup ucapan saya pada petang ini dengan serangkap lagi pantun. “Anak itik Tok Wi mandi dalam kolam, kali ni Tok Wi dah siap mandi; terima kasih penutup kalam, Yang Berhormat EXCO jangan lupa ulas esok hari. Sekian, Tiram mohon menyokong wabillahitaufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumusalam Yang Berhormat Tiram. Ahli-Ahli yang Berhormat, Dewan mengalu-alukan kehadiran 44 orang pemerhati yang datangnya 18 orang dari Pulai Sebatang, 14 orang daripada Panti, 7 orang dari Johor Lama dan 5 orang daripada Kempas. Selamat datang ke Dewan Negeri Johor. Seterusnya di jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Selamat Petang, salam Sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang Mulia. Terima kasih kerana memberi peluang kepada Pekan Nanas untuk bersama di dalam perbahasan khusus menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Pada kesempatan sama, patik ingin menzahirkan ucapan sembah tahniah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertua Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail atas pelantikan sebagai Pemangku Sultan Johor. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Amat Mulia Tunku akan terus dikurniakan afiat serta kekuatan bagi menaungi negeri Johor dan negara Malaysia.
Secara keseluruhan di intipati titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor kita dapat merumuskan bahawa ke bawah Duli Yang Amat Mulia amat berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor. Namun saya yakin barisan pentadbiran negeri tidak akan mudah selesa dan akan terus menyusun gerak kerja yang lebih rancak lagi untuk pembangunan negeri Johor. Pelbagai aspek penting kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan demi kesejahteraan negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, program-program pembasmian kemiskinan di Johor yang dijalankan oleh kerajaan negeri telah memberikan impak dalam membantukan golongan miskin. Program-program seperti yang Keluarga Angkat Miskin Tegar dan Dapur Kasih Johor telah menjadi baseline penting dalam usaha membasmi kemiskinan di setiap kawasan DUN. Namun terdapat ruang untuk meningkat lagi pendekatan jangka panjang yang boleh hoslitik dalam menangani isu kemiskinan secara berkesan. Antaranya fokus perlu diberikan terhadap usaha untuk meningkat taraf kehidupan mereka cabaran utama yang dihadapi oleh golongan miskin tegar adalah ketidakpastian dan kekangan berterusan. Mereka sering kali terpinggir daripada pelbagai peluang ekonomi dan ini membuatkan mereka terus bergantung kepada bantuan sosial atau subsidi yang mungkin tidak mencukupi untuk mencapai taraf kehidupan yang boleh baik, ibarat kata hanya untuk meneruskan kehidupan hari itu sahaja.
Saya bukanlah menolak cadangan pemberian subsidi dan bantuan berterusan ini, namun saya khuatir dalam jangka masa panjang dia akan memberikan tekanan kepada ekonomi kita. Sebenarnya saya lihat kita perlu melihat tentang bagaimana cara untuk membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui usaha kendiri dan bimbingan berterusan dari agensi dalam apa juga sektor dan tidak semata-mata bergantung kepada bantuan atau subsidi. Ini adalah satu pendekatan yang saya rasa dapat memberikan impak yang significant sekali gus dapat merealisasikan hasrat Pemangku Sultan Johor agar tiada isi rumah berstatus Miskin Tegar selepas tahun 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang begitu komited dalam merealisasikan projek-projek di Zon Ekonomi Khas Johor dan Singapura. Yang Amat Berhormat juga memberikan jaminan bahawa sebanyak 400 peluang pekerja akan dapat diwujud antara tahun 2020 hingga tahun 2030. Namun saya bertanya, bersediakah kita untuk menyelia tenaga kerja yang berkebolehan bagi mengisi kekosongan atau pada akhirnya bergantung kepada pekerja mahir dari luar negara. Saya mencadang agar kerajaan negeri memberikan perhatian serius kepada peringkat kualiti pendidikan vokasional dan teknikal. Kita perlu pastikan bahawa kurikulum dan silibus kita sebenar-benar relevan dengan keperluan tempatan. Selain itu, kita perlu mengakui peranan penting teknologi maklumat (IT). Dalam ekonomi masa kini, ketetasan buatan AI semakin menjadi tulang belakang dalam pelbagai sektor industri. Kepunyaan AI untuk menganalisasi data dengan cepat dan memberi pandangan yang mendalam telah mengubah landskap ekonomi kita. Sebagai tambahan kepada kemahiran teknikal sedia ada, penekanan pada perancang AI akan memastikan bahawa tenaga kerja tempatan tidak hanya relevan dalam konteks industri semasa tapi juga tersedia untuk menghadapi cabaran dan peluang yang berkaitan dengan revolusi yang sedang berlaku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya turut selitkan di sini agar kerajaan negeri tidak melupakan mereka yang dikategorikan dalam golongan istimewa. Mereka ini turut perlu diberikan sewajarnya dalam memperkasakan ekonomi negeri Johor. Kebanyakan mereka tidak berpeluang untuk menceburi sektor yang mereka minati kerana keistimewaan mereka. Kita perlu akui kebanyakan sektor pekerjaan ini banyak yang mengenepikan golongan istimewa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai Wakil Rakyat untuk membantu mereka mendapatkan peluang yang mampu meningkatkan kemahiran diri mereka sendiri. Kita ada Program Pemulihan Dalam Komuniti, PDK, dan banyak institusi lain bagi golongan istimewa. Saya cadangkan program-program berbentuk sosial untuk mereka ini selaraskan dengan pemain-pemain industri supaya telah tamat pengajian nanti masa depan mereka akan terjamin. Seberapa sangatlah jumlah mereka ini di negeri Johor, bukan satu halangan besar pun jika kita ingin benar-benar membantu mereka kita perlu pastikan tiada diskriminasi terhadap mereka walau ke mana mereka pergi untuk mencari rezeki.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ada satu persoalan besar yang bermain di fikiran. Mengapa banyak projek-projek kerajaan negeri yang mengambil masa tahun untuk selesai sampaikan ada terbiar begitu sahaja. Kerajaan negeri amat giat mencari pelabur untuk datang melabur di negeri kita. Namun fasiliti awam khususnya di kawasan pedalaman masih berada dalam tahap yang amat menjelikkan. Izinkan saya mengambil contoh projek Jambatan Kampung Sawah yang sudah lebih 5 tahun tidak dapat disiapkan sedangkan dia merupakan laluan utama pengguna jalan raya daripada Pulai ke Pekan Nanas dan Pontian juga serta merupakan salah satu laluan pintu keluar masuk utama ke lebuhraya utara dan selatan. Kemalangan jalanraya juga kerap kali dilaporkan berlaku.
Pembangunan kawasan ekonomi khas antara Johor dan Singapura adalah langkah strategik untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap tetapi juga projek infrastruktur untuk rakyat seperti ini tidak dapat diselesaikan. Apa makna semua jika rakyat terabai, bukan itu
sahaja setengah projek tidak siap ini boleh merisikokan keselamatan orang ramai. Rakyat pula akan terus menerus menyalahkan Wakil Rakyat. Tidak buat kerja, katanya sudah berkali-kali dimohon dipersembahkan. Saya cadang, kolaborasi lebih hebat antara kerajaan negeri dan pusat supaya tidaklah hanya mengumumkan pelaksanaan sesuatu projek tapi nak siapnya boleh sampai beranak cucu rakyat nak tunggu. Saya terus meminta agar projek pembinaan jalan pintas di Pekan Nanas-Ulu Choh dapat dilaksanakan dengan segera. Saya difahamkan projek ini telah di tangguh bagi memberi laluan kepada projek lain dalam fasa pembinaan. Selain dapat menangani isu kesesakan di Pekan Nanas saya yakin ini turut akan memberi kesan positif terhadap pembangunan Zon Ekonomi Khas Selatan di daerah Pontian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini suka saya ingin suarakan sekali lagi walaupun sudah berulang kali saya membangkitkan iaitu perbanyakkan lagi Projek Rumah Mampu Milik di DUN Pekan Nanas. Kita lihat sendiri kepesatan JSSC yang jangka akan rancak sektor ekonomi di daerah Pontian dengan lebih pesat. Saya yakin harga bagi projek perumahan sedia ada juga akan meloncak mengikut harga pasaran semasa. Harga rumah sekarang bukan macam zaman kita dulu, yang paling terkesan pasti golongan muda yang ingin membeli rumah pertama. Rumah mampu milik sedia ada pada ketika banyak tertumpu di kawasan lain sehinggakan penduduk kawasan saya terpaksa berpindah demi mendapatkannya. Jika projek ini dapat dilaksanakan di Pekan Nanas kita dapat memastikan bahawa manfaat dinikmati oleh golongan yang memerlukan. Oleh itu, saya memohon agar kerajaan negeri mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memenuhi permintaan saya ini demi kepentingan penduduk tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di Pekan Nanas sektor pelancongan sedang berkembang pesat dengan kehadiran pelbagai perkhidmatan yang menarik untuk pengunjung. Ini termasuk penginapan yang selesa, makanan tempatan yang lazat dan pelbagai aktiviti rekreasi. Contohnya terdapat Nurjannah Camp Eco Resort, ATV Lubok Sawah, Sinar Eco Resort, Kopi dan Mentega, dan banyak lagi.
Saya mencadangkan agar Pihak Berkuasa Tempatan mempertimbangkan, memberi insentif kepada pengusaha dalam sektor pelancongan di Pekan Nanas. Insentif ini boleh merupakan bantuan kewangan untuk pembangunan atau penyelenggaraan fasiliti seperti membaiki jalan raya atau menambah kemudahan awam seperti tandas dan tempat letak kereta. Oleh itu, bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026, saya minta kerajaan negeri supaya mengambil langkah-langkah tambahan untuk mempromosikan Pekan Nanas sebagai destinasi pelancongan utama. Ini termasuk pelan pemasaran yang berkesan, meningkatkan kemudahan infrastruktur dan menyokong inisiatif usaha kecil yang berkaitan dengan pelancongan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menutup perbahasan, patik menjunjung kasih ke atas titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor agar setiap daripada kita dapat mengetepikan perbezaan politik dan berkhidmat sepenuhnya untuk masyarakat serta menjaga kredibiliti institusi Dewan Negeri Johor. Kerajaan negeri Johor juga sentiasa mengutamakan kepentingan Bangsa Johor dan segala aspek. Saya telah meneliti perbahasan semua Wakil Rakyat, tahniah dan syabas saya ucapkan kerana semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. (Dewan bertepuk). Dalam dewan ini telah memfokuskan kepada isu-isu rakyat dan juga usaha kerajaan negeri. Malangnya ada seorang Wakil Rakyat yang sengaja atau tidak sengaja telah menimbulkan isu politik Pilihan Raya Kecil di negeri lain ke dalam Dewan yang mulia ini. Saya tegaskan, tumpuan kita pada ketika ini adalah untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Tinggalkanlah dahulu hal-hal politik di luar sana, jagalah imej kita sebagai Wakil Rakyat. Sentiasa juga berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata. Pepatah ada menyebut, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Yang Berhormat Datuk Speaker, Pekan Nanas mohon menyokong. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor. (Doa).
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberikan laluan kepada Maharani untuk membahaskan titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim. Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah dan kurnia dan rahmat-Nya berlangsung Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Yang Ke-15 kali ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi Besar Muhammad SAW yang menjadi pedoman di dalam kehidupan kita seharian. Patik mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor atas pelantikan sebagai Pemangku Sultan Johor dan Tunku berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-15 ini. Semoga seluruh Ahli Dewan Negeri Johor terus bersatu padu menaikkan imej negeri Johor dan menjaga kebajikan rakyat negeri di bawah naungan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Johor tanpa mengira fahaman politik dan merealisasikan budaya politik matang dan sejahtera. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Imran, Ayat 103. (Doa). Yang bermaksud ‘Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai’.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada jabatan-jabatan, agensi-agensi di atas perlaksanaan tugas yang amat baik dan tindakan pantas terhadap isu-isu yang berbangkit seperti isu jalan yang tidak berturap dapat diselesaikan. Isu yang melibatkan masyarakat di Perkampungan Nelayan, isu-isu pertanian dan juga isu-isu pendidikan rakyat negeri Johor. Semoga semua jabatan dan agensi ini akan terus sukses di dalam menyantuni masyarakat dengan solusi yang terbaik ketika ini.
Maharani mengambil maklum keprihatinan Tunku terhadap ekonomi rakyat Johor ketika ini dan semestinya keperluan asas rakyat seperti sumber makanan, tempat tinggal dan akses pendidikan bakal terjejas dengan sebab merundumnya ekonomi sekarang ini. Perlu diingat bahawa dalam kalangan rakyat itu, adanya mereka yang bertugas sebagai penjawat awam, pekerja swasta dan juga rakyat biasa yang mencari sara hidup dengan kudrat tulang empat kerat. Semestinya setiap bantuan dari kerajaan negeri meliputi semua yang tersebut di atas supaya isu rakyat yang terlepas pandang dan tidak mendapat perhatian pihak berwajib. Banyak aset kerajaan boleh dikerahkan untuk menjayakan perkara seperti yang melibatkan penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penduduk supaya tiada hak rakyat dinafikan. Janganlah disebabkan perbezaan politik, hak mereka sebagai rakyat yang sepatutnya layak mendapat bantuan kerana taraf hidup kemiskinannya dianak tirikan. Mari bersama-sama kita menyahut titah Tunku agar mengutamakan kepentingan rakyat dan menyatukan semua Bangsa Johor. Itu semua adalah merupakan tanggungjawab kepada pemimpin yang akan ditanya di akhirat kelak dan bagaimana mungkin kita sisihkan mereka hanya sebab tidak sefahaman dengan fahaman politik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani melihat hasrat kerajaan dalam membantu ketua isi rumah yang berstatus miskin tegar melalui Dapur Kasih, adalah satu usaha yang cukup baik dan boleh diteruskan untuk masa akan datang dengan beberapa penambahbaikan. Penglibatan semua pihak bermula daripada Pejabat Menteri Besar Johor, pejabat-pejabat daerah, penglibatan semua ADUN tanpa mengira batasan politik, penghulu-penghulu mukim dan ketua kampung sangat memberi makna dan besar maknanya kepada peserta-peserta Dapur Kasih dan jutaan tahniah Maharani ucapkan kepada Pejabat Menteri Besar atas kejayaan ini. Namun, jika hanya setakat membawa mereka setiap bulan membeli barang
dapur dan keperluan bulanan, mustahil ianya dapat merealisasikan hasrat Tunku untuk memastikan tiada miskin tegar selepas tahun 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani mencadangkan agar satu modul khusus Keluarga Angkat Dapur Kasih ini dengan mendapat peruntukan khas atau kursus berskala kecil dapat membantu menaikkan taraf status mereka kepada lebih baik dengan adanya modul khas ini. Projek tersebut boleh diselarikan melalui agensi kerajaan seperti contoh Jualan Rahmah atau Jualan Kasih Johor. Berikan peluang kepada mereka untuk turut serta sebagai vendor atau boleh diadakan modul khusus skala kecil kepada ahli keluarga mereka seperti kursus jahitan, bengkel automotif, kursus asas tani dan seumpamanya bagi membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dan nilai tambah buat mereka. Maharani juga melihat Program Dapur Kasih ini boleh diluaskan skopnya, bukan setakat akses dari laman e-Kasih tetapi boleh dicapai melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, daripada Jabatan Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Johor, asnaf, kariah masjid, surau, asnaf daripada data sekolah dan seumpamanya. Semoga dengan hasrat ini akan memastikan tahun 2025 Bangsa Johor akan bebas tegar berhasil dengan jayanya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani mengambil berat saranan titah Tunku yang menzahirkan anak-anak Johor harus menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Maharani mengharapkan agar pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak Johor kategori asnaf melalui Baitulmal untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Kita ketepikan karenah birokrasi yang menyusahkan, bantuan Baitulmal untuk sampai kepada golongan asnaf ini. Kebanyakan anak-anak asnaf ini sebenarnya berpotensi untuk lebih jauh dalam bidang pendidikan. Namun, sebab kewangan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pengajian. Mereka memilih untuk bekerja dan menyara keluarga bagi bertahan hidup untuk masa akan datang. Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor juga boleh adakan kajian terkini kepada asnaf-asnaf yang menerima bantuan bulanan semoga sekurang-kurangnya dinaikkan kepada RM500.00 sebulan memandangkan kos sara hidup sekarang ini lebih tinggi dan golongan ini juga sememangnya tiada keupayaan untuk bekerja disebabkan keuzuran mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani mengucapkan tahniah di atas penganjuran Program Semarak Subuh oleh kerajaan negeri Johor yang melibatkan semua ADUN, penjawat awam dan masyarakat setempat pada setiap pagi subuh. Program ini sebenarnya dapat menyatukan antara penduduk setempat dan pihak ADUN juga banyak menerima aduan-aduan untuk diselesaikan pada waktu itu. Cuma yang mejadi masalahnya, hari-hari lain selain daripada hari Jumaat, jemaah agak berkurangan. Maka dengan itu, diharapkan supaya semua mengambil bahagian untuk mengatasi masalah ini supaya Semarak Subuh itu bukan hanya pada hari Jumaat sahaja tetapi pada hari-hari yang lain. Insya-Allah, kita bersama-sama bergerak untuk memenuhi kawasan-kawasan masjid dan surau pada waktu subuh. Maharani juga mencadangkan agar peruntukan RM200.00 yang telah diberi kepada masjid dan surau perlu ditambah baik memandangkan kos perbelanjaan sekarang ini semakin meningkat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani mengambil berat akan titah Tunku untuk memastikan setiap Bangsa Johor mempunyai tempat tinggal yang sempurna dan hasrat Tunku terhadap pembangunan infrastruktur yang mencukupi kepada rakyat negara ini. Maharani membangkitkan mengenai status pecah tanah bagi Taman Perbadanan Islam di bandar Maharani yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang ke-15, lapan tahun yang lalu. Namun sehingga hari ini, Maharani belum dapat melihat perkembangan projek ini. Maharani mohon supaya pihak berwajib mengambil tindakan terhadap perkembangan projek tersebut di bandar Maharani demi merealisasikan hasrat
pimpinan yang terdahulu dan sekaligus akan membantu golongan belia terutamanya yang tidak memiliki rumah pertama bagi mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani melihat dari sudut pendidikan, pihak kerajaan juga boleh mengambil inisiatif untuk memberikan pendedahan kepada anak pelajar dari sekolah agama bantuan kerajaan atau seumpamanya dengan memberikan latihan atau kursus jangka pendek selama enam bulan atau tempoh yang sesuai kepada mereka untuk mendalami ilmu berkaitan saham, ilmu kewangan patuh syariah dan seumpamanya. Pentingnya perkara ini supaya lepasan sekolah agama bantuan kerajaan dapat manfaatkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian dan mempraktikkan untuk membantu situasi ekonomi negara masa kini. Ini juga sebagai cadangan Tunku agar kita dapat menaik taraf silibus pendidikan dan belia kita dapat berdaya saing dengan sihat di masa hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif yang lebih proaktif kepada sektor pendidikan mesti mengikuti arus semasa, hari ini kita di dedahkan dengan teknologi baharu, Artificial Intelligence ataupun AI yang boleh dikatakan hampir 50% peluang pekerjaan belia akan datang berkaitan rapat dengan teknologi ini. Maka tidak salah Maharani mencadangkan supaya ilmu ini, dengan teknologi semasa ini diserapkan kepada pelajar-pelajar dan belia kita bermula di sekolah bantuan kerajaan, sekolah separa kerajaan mahupun sekolah swasta. Selain daripada institusi pendidikan yang sedia ada di bawah seliaan kerajaan negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saranan daripada Tunku berkaitan dengan pendidikan yang berkualiti kepada Bangsa Johor, Maharani mencadangkan agar beban tugas guru sekolah dikaji semula. Telah sampai waktunya guru lebih berfokus kepada pembangunan intelek pelajar dan tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. Seiring dengan tema hari guru tahun ini, Maharani mencadangkan sistem bayaran yuran dibuat secara atas talian dan akan mengurangkan tugas guru, juga rekod kehadiran harian pelajar dibuat secara atas talian di mana guru kelas hanya merekodkan pelajar yang tidak hadir sahaja secara automatik. Semua data adalah tanpa kertas dan boleh dicapai dengan mudah dan selamat. Sistem dokumentasi dan fail-fail yang berkaitan pencapaian pelajar dalam akademik, sukan dan aktiviti-aktiviti lain tidak lagi sesuai dipraktikan, malah mesti direkod secara atas talian.
Untuk itu, diharapkan capaian internet di sekolah-sekolah terutamanya sekolah luar bandar perlu dinaik taraf ke paras yang optimum. Mohon tindakan dari EXCO Pendidikan memberikan perhatian serius terhadap permasalahan ini. Akibat beban tugas yang rencam dan tidak berfokus terhadap pelajaran dan pengajaran mengakibatkan ramai di kalangan guru mengalami tekanan mental dan stres dan menyebabkan ramai yang mohon bersara awal. Ini amat merugikan negara kerana mereka yang berpengalaman dalam mendidik anak bangsa mengundurkan diri bersara awal sebelum sampai waktu bersara. Dan, di kesempatan ini Maharani mengambil, Maharani ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di Malaysia, guru-guru di Malaysia khususnya di negeri Johor dan tema Hari Guru tahun ini “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani”. Terima kasih cikgu. Dan satu lagi Maharani mencadangkan bagi meningkatkan tenaga mahir dalam arus global masa kini, TVET yang merupakan proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri perlu diperkasakan dan pelbagai bidang menjadi keutamaan di peringkat sekolah untuk tujuan tersebut, Maharani mencadangkan kepada EXCO Pendidikan supaya memperincikan sekolah-sekolah yang dapat melaksanakan TVET secara berkesan dan sistematik. Satu sekolah satu latihan. Bunga selasih tumbuh sederet, dipijak orang lalu lalang, ayuh Johor perkasakan TVET didik pelajar jadi cemerlang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada pemilihan Johor untuk pelaksanaan ekonomi oleh Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan untuk menjadikan Johor mencapai status negara maju menjelang 2030. Ini termasuk pelaksanaan projek Maharani Energy Gateway yang berada di Muar. Maharani mengharapkan supaya peluang pekerjaan dapat
diwujudkan secara telus bagi penduduk di Muar dan sekitarnya terutamanya golongan nelayan dan sekitarnya yang mungkin akan terjejas mata pencariannya kesan daripada projek Maharani Energy Gateway.
Sehubungan dengan itu, mohon supaya daerah Muar di gazetkan menjadi Zon Ekonomi Khas dan tanah Rizab Melayu kekal dan penduduk tidak berpindah akibat tekanan ekonomi dan pembangunan yang pesat, diluar keupayaan penduduk-penduduk setempat. Diharapkan pihak kerajaan dapat merangka pelan jangka panjang memastikan penduduk setempat tidak terpinggir bak kata pepatah, “kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan. Sudah terhantuk baru terngadah, sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Menang sorak kampung tergadai”.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat sebuah komuniti PDK di Maharani yang terletak di Parit Kurma Jalan Abdul Rahman, mempunyai seramai 40 orang pelatih dan 12 orang guru pembimbing. Suka untuk Maharani bangkitkan semula isu ini kerana elaun pusat dalaman komuniti yang sehingga kini belum menepati syarat gaji minimum. Apa yang kami faham operasi sama seperti pusat asuhan dan pusat pendidikan yang lain, memerlukan guru atau pembimbing membuat persediaan mengajar kepada pelatih-pelatih orang kurang upaya. Kita sedia maklum tanggungjawab seperti ini terlalu berat kerana golongan OKU adalah golongan istimewa tidak seperti anak-anak biasa dan mereka perlukan lebih perhatian semasa mengikuti sesi pembelajaran di PDK. Mana mungkin pembimbing PDK hanya berikan elaun yang sedikit sedangkan mereka juga mempunyai komited, komitmen lain untuk dipenuhi. Maharani mencadangkan agar satu pusat jagaan warga emas juga di bawah kelolaan kerajaan dapat wujudkan di setiap daerah bagi membolehkan warga emas dari kalangan asnaf dan tidak berwaris mempunyai tempat perlindungan yang sempurna. Setakat ini, di Maharani hanya terdapat pusat jagaan warga emas swasta yang perlu berbayar. Maharani mohon cadangan ini supaya dipertimbangkan untuk kesejahteraan rakyat di masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga membawa rintihan Persatuan Pemandu Teksi di Muar, sebanyak 52 orang ahli yang masih belum mendapat sebarang bantuan sama ada pemberian terus one-off mahupun bantuan bulanan dari pihak kerajaan. Oleh yang demikian, Maharani mencadangkan pihak kerajaan mengambil berat isu pemandu teksi sebagai pengangkutan awam dalam negeri Johor. Dalam masa yang sama pihak kerajaan boleh membantu mereka dengan menjadikan mereka sebagai ejen iklan bergerak bagi agensi kerajaan dan swasta terutamanya dalam sektor pelancongan. Mohon perkara ini dipertimbangkan. Dan, Maharani juga membangkitkan isu bangunan Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang terletak di pintas jalan, Jalan AMJ Parit Kurma pada tahun lepas dijanjikan bangunan ini akan siap digunakan sepenuhnya pada November 2023. Tetapi sehingga kini masih belum siap sepenuhnya walaupun telah di bawa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira (PAC). Kerajaan perlu lebih serius dalam memantau perkembangan isu ini supaya dapat siap secepat mungkin dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan berlakunya isu ketirisan wang rakyat yang digunakan untuk membina bangunan MPM ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Maharani mengakhiri perbahasan ini Maharani berharap agar segala peruntukan dari kerajaan negeri Johor untuk semua ADUN diberi sama rata dan seadilnya sebagaimana peruntukan yang diberikan kepada Yang Berhormat ADUN kerajaan, kerana kita menjalankan tanggungjawab yang sama, berkhidmat untuk masyarakat supaya ianya tidak akan disoal di akhirat kelak. “Kalau hendak menjerat rusa, siapkan tali disimpul erat, kalau hendak berbuat jasa tetapkan hati betulkan niat”. Akhir kata, Maharani menyeru kepada seluruh Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini supaya sentiasa mengamalkan gerak kerja yang telus, komitmen selanjutnya istiqomah, melaksanakan syariat berpandukan firman Allah di dalam surah an-Nah ayat 128 (bacaan surah) yang bermaksud sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya. Dengan ini, Maharani menyokong titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor Darul Ta’zim. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Di jemput, Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada Pulai Sebatang bagi mengambil tempat dalam perbahasan kali ini. Terlebih dahulu Pulai Sebatang merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan bertitah merasmikan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang DUN Yang Ke-15 ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya saya rasa amat bertuah dan bersyukur kerana negeri Johor ini dinaungi oleh Sultan dan Pemangku Sultan yang sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor bertitah tentang perlunya negeri ini, perlunya kerajaan negeri ini menjaga kebajikan rakyat. Memastikan rakyatnya cukup akan makannya, tempat tinggalnya, kemudahan asasnya, kemudahan kesihatannya dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor juga menitik beratkan tentang pendidikan iaitu berkaitan dengan akses pendidikan berkualiti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mulakan perbahasan saya, saya ada perkaralah hendak minta Yang Berhormat Datuk Speaker tolong tengokan pasal fasiliti Dewan ini.Kelmarin masa Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjawab soalan-soalan Dewan jammed sekejap sebab PA sistem ini macam tak berapa function. Jadi, mungkin kerana acoustic panel dalam ini tak berapa cukup, dia ini ada kaitan dengan design, ada kaitan dengan sains, ada kaitan dengan teknologi dan ada kaitan dengan perkara yang saya hendak sebutkan nanti selepas ini. Soft surface acoustic panel ini tak cukup walaupun dalam Dewan ini dipenuhi dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat, dipenuhi oleh Ketua-Ketua Jabatan, kami-kami tak boleh digelar sebagai soft surface permukaan lembut hendak serap bunyi sebab kalau YB-YB ini lembut tak kental, tak keras tak boleh jadi Ahli Yang Berhormat. Jadi, ini isu dalam Dewan ya, yang dekat luar pula saya kesian tengok kita punya pegawai khas, saya kesian tengok kita punya PA-PA tadi dalam Dewan ini sejuk, saya keluar nak cari tempat panas saya pergi tempat dia orang. Ternyata panas. Yang Berhormat Datuk Speaker, dah lah TV nya banyak semut dekat depan permukaan itu, maknanya kalau tengok itu tak berapa clear lah. Kesian mereka ini beriya-iya mencatit apa bos mereka sebut dalam Dewan, tetapi tak dapat nak dengar jelas, tak dapat nak tengok jelas, kerusi tak selesa, panas dan sebagainya mungkin kita boleh tengoklah kemudahan-kemudahan yang ada di sekitar Dewan ini dan tak salah rasanya kalau.. (Dewan bertepuk), kalau kita sediakan lah coffee corner untuk mereka bolehlah mereka buat-buat air dan sebagainya. Jadi, moga apa yang saya utarakan ini mendapat perhatianlah dari Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Unit Pengurusan Dewan ini. Terima kasih.
Setuju.
Terima kasih. Kali ini saya tak banyak bawa isu kawasan, tetapi saya akan bawa satu isu yang saya rasa boleh membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dibawa oleh saya dan juga rakan-rakan Ahli Yang Berhormat. Tetapi sebelum itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak ucapkan tahniah lah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas perancangan pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone yang akan dilaksanakan di negeri Johor ini. Perancangan sangat baik dapat memberikan banyak manfaat kepada rakyat Johor sekiranya perancangan ini dirancang dengan teliti dan teratur. Perancangan ini sangat bertepatan
dengan slogan Maju Johor. Apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sebut tentang JS-SEZ ini, negeri Johor rujuk kepada ataupun dapatkan panduan dan ilmu daripada bandar Shenzhen, Shenzhen sebutnya Shenzhen. Shenzhen ini dia bermula daripada kampung nelayan, kita tahu dia bermula daripada kampung nelayan, jumlah penduduknya ketika itu hanya 30,000 sahaja itu 40 tahun dahulu. 30,000 sahaja penduduknya dan ketika itu dari segi teknikalnya, engineering nya, inovasinya apa yang ada ketika 40 tahun dahulu? Dah lah penduduknya sekitar 30,000, engineer nya ada 2 sahaja dan hampir tidak ada inovasi, tidak ada. Tetapi Shenzhen membangun 40 tahun kemudian daripada 30,000 penduduk menjadi 20,000,000 penduduk. Dan daripada hampir tak ada inovasi, sekarang ini Shenzhen ada 30,000 syarikat inovasi sains dan teknologi. Shenzhen berkembang dari sebuah penempatan nelayan, tempat nelayan yang kecil, kawasan yang kecil hingga sekarang jadi bandar sains dan teknologi. Pembangunan Shenzhen ini yang menakjubkan ini pembangunan yang menakjubkan ini berkait rapat dengan inovasi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi inilah yang saya hendak bawa dalam sidang Dewan kali ini, saya hendak kaitkan perancangan JS-SEZ ini Johor Singapore Special Economic Zone ini dengan pendidikan STEM. STEM, dia bukan stem yang kita buat hantar surat itu, sekarang ini pun hendak hantar surat dah tak pakai pergi Pejabat Pos dah. Hantar surat pakai handphone. Nak hantar surat kat Jurutulis tak dapat nak hadir sidang Dewan pun pakai Whatapps jek.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ayah saya pernah tanya tau, dia kata ayah ni fikir tau telefon ini mungkin lah logik juga ni, hantar surat dekat telefon ni dia terbang lalu kot mana. Itu inovasi Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi saya nak kaitkan JS-SEZ ini dengan pendidikan STEM yang mana kita tahu bahawa Dasar Pendidikan Negara pada tahun 1967 menetapkan bahawa 60% pelajar di Malaysia ini mesti ambil bidang Sains. Dasar disasarkan 60%, 40% lagi tu ambil bidang Sastera, Seni dan sebagainya. Itu 1967, 24 tahun kemudian Perdana Menteri Malaysia yang ke 4 lancarkan Wawasan 2020 dengan meletakkan Sains dan Teknologi sebagai teras utama dalam membangunkan sosioekonomi yang memerlukan sumber manusia berkeupayaan tinggi. Bila kita sebut pasal Wawasan 2020 kalau mungkin semua ada dalam Dewan ini ada pengalaman kot, bila kita lukis, kita lukis apa? Kereta terbang Yang Berhormat Datuk Speaker, kita lukis gambar kereta terbang, kita lukis kereta terbang itu berada dicelah-celah pencakar langit. Tapi apa yang berlaku pada tahun 2020 bukan kereta terbang, kerja terbang, duit terbang semua terbang. Tak capai pun apa yang kita rancang untuk wawasan 2020 mungkin kerana Pandemik. Tapi kita tengok perjalanan Dasar Pendidikan Negara daripada tahun 1967 sampailah ke tahun ini 2024 yang memakan masa 57 tahun belum pernah dalam rekod setahu saya lah KPM, Kementerian Pendidikan Malaysia dapat capai sasaran 60% tersebut. 57 tahun Yang Berhormat Datuk Speaker. Shenzhen 40 tahun pesat membangun dengan inovasi dan sebagainya berorientasikan teknologi dan inovasi. Dasar Pendidikan Negara kita ini, kita buat 57 tahun dulu kita gagal capai. Kalau kita tengoklah perbandingan jumlah pelajar lulusan STEM di China, purata tahunan China menghasilkan lulusan pelajar STEM ini seramai 4.66 juta orang. Mungkin kerana rakyat dia ramai, rakyat dia kalau ikut angka 2022 ada 1.4 billion, 1.3 billion. Kalau 4.66 juta lulusan STEM daripada China ini kita kaitkan dengan 1.4 billion penduduk dia mewakili 0.3% so katalah kita ambil angka 0.35% itu dengan jumlah penduduk Malaysia, sepatutnya setiap tahun anggaran Malaysia melahirkan pelajar dalam lulusan STEM ini mesti tidak kurang 118,790 orang. Ini purata dia berubahlah setiap tahun angka ni. Tapi apa yang kita dapat setiap tahun dah lah kita tak dapat nak capai sasaran 60% itu, sesi 2033, 2023, sesi 2023 sesi 2024 yang mana tingkatan 3 nak masuk ke tingkatan 4 tahun, lepas punya pelajar ini tingkatan 3 nak masuk tingkatan 4, pelajar yang ambil bidang STEM ini bukan 40%, bukan 30%, tetapi 15.2% je. Tersasar jauh dengan Dasar Pendidikan Negara. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam saya ada beri soalan kepada Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat EXCO ada juga jawab, nampaknya ada peningkatan daripada segi pelajar ambil STEM ini tahun 2021, 40.95%, tahun 2023 45.73%. Tadi saya tak sebut 45.73% saya sebut
15.2%. Sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita ambil keseluruhan pelajar yang ambil STEM sesi 2023-2024 yang lepas memang angkanya 45.73%. Tapi kita kena ingat nak ambil aliran Sains ini dia ada 3 lorong. Kita ambil STEM A, STEM A ni kita ambil Sains tulen lah Biologi, Fizik, Kimia, Add Math kita ambil. Saya nak tanya lah dalam Dewan ini berapa ramai dulu sekolah ambil Sains tulen. Angkat tangan. Ada? Satu dua tiga empat lima, Dato’ Bukit Permai pun angkat tangan eh. Dia ada STEM A yang ambil Sains tulen 4-4 subjek Sains ni. Lepas tu dia ambil STEM B yang mana STEM B ni pelajar boleh pilih nak gugurkan subjek Kimia ke nak gugurkan subjek Bio. Lepas tu dia ada STEM C, STEM C ini langsung tak ada Fizik, Kimia, Bio, Add Math tak ada tapi mereka ambil Sains Komputer, Reka Cipta dan Sains Rumah Tangga. Sebab itu tadi datangnya angka 15.2% yang betul-betul ambil sains tulen ni cuma 15.2% sahaja.
Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, KPM buat macam-macam pelan dan perancangan. Tahun 2001-2010 Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 dengan tujuan nak merealisasikan sasaran membangunkan sosioekonomi yang memerlukan sumber manusia berkeupayaan. 2001-2010 berlalu begitu sahaja tak dapat sasaran 60%. Lepas tu 2013-2025 Pelan Pembagunan Pendidikan 2013-2025 lancarkan pelan tersebut kononnya nak mengukuhkan inisiatif dalam pelaksanaan STEM. Ini tahun 2024, tahun depan tahun 2025 nampaknya macam gagal juga ni pelan ini. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, Dasar Pendidikan Negara tak pernah capai. Kalau tercapai tenaga mahir, tenaga pekerja mahir dan pekerja pakar yang kita perlukan untuk bangunkan JS-SEZ ini macam Shenzhen pasti senang untuk kita laksana, pasti senang untuk kita realisasikan dan apa yang kita nak tenaga-tenaga pakar ini, pekerja-pekerja mahir ni kalau boleh mesti datang daripada Johor, anak jati Johor baru boleh kita banggakan. Persoalannya Yang Berhormat Datuk Speaker, apakah perancangan kerajaan negeri dalam menyediakan kemahiran anak bangsa Johor dalam bidang STEM dan akhirnya boleh dimanfaatkan di dalam perancangan pembangunan JS-SEZ ini. Saya nak ucap tahniahlah kepada YB Paloh yang jaga pelaburan, yang jaga sumber manusia, dari segi pelaburan kita ucap tahniah kita dapat tarik banyak pelaburan, pelabur masuk dekat negeri Johor, tahniah. Setiap tahun angka pelaburan itu meningkat. Cuma sebolehnya kita harap pelabur masuk dia invest dekat Johor tetapi pekerja mahir, pekerja pakar itu mesti datang daripada negeri Johor ini, mesti datang daripada anak jati negara Malaysia ini terutamanya daripada Johor ini. Kita rancakkan ekonomi negeri Johor ini tapi kita kena pastikan pekerja mahir, pekerja pakar tersebut adalah dari anak jati Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya amat bersetuju dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, supaya kerajaan Persekutuan ambil langkah lebih proaktif tentang kualiti sistem dan fasiliti pendidikan. Tunku titah dia kata, Kementerian Pendidikan kena tengok balik dan buat perubahan pada silibus-silibus yang tak lagi relevan. Apalagi yang Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota titah dia kata kalau, makna dia kata kalau Persekutuan tak boleh nak buat dan tak ambil berat isu pendidikan ini, negeri Johor bersedia menjadi negeri pertama mengubah silibus-silibus di sekolah-sekolah di Johor. Perubahan ini penting Yang Berhormat Datuk Speaker, penting untuk kita siap siagakan golongan belia Johor kita supaya lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan yang mana dengan adanya JS-SEZ ini nanti negeri Johor berpotensi menjadi hub teknologi dan inovasi negara sebagaimana yang berlaku di Shenszhen. Saya nak mintalah YB EXCO Pendidikan ambil serius tentang hal ini berbincang dengan JPN berbincang dengan PPD-PPD daerah tentang bagaimana nak tarik minat pelajar untuk mendekati Sains Matematik diperingkat sekolah rendah. Memang betul kita akui darjah satu dah ada belajar Sains, tapi kalau kita tengok negara maju Amerika Syarikat, Jepun darjah satu dua tiga tahap 1 dia tak beratkan sains, dia bereksperimentasi dan bermain dengan Sains. Antara sebab kenapa pelajar tak minat Sains sebab dia kata susah mungkin kerana kandungan silibus-silibus mata pelajaran kita ini tak dapat menarik minat pelajar-pelajar.
Kat dalam Dewan ini Ahli Yang Berhormat bangkitkan macam-macam perkara, banjir, keterjaminan makanan, perumahan, jalan rosak macam nak kena laju sikit ni 14 minit dah, bekalan air, penggantian paip, semuanya ini ada berkaitan dengan STEM berkait rapat dengan Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik. Sukan di bawah YB Larkin, padang, stadium, piala, baju, stokin mana tahu nanti ada anak jati Johor boleh reka cipta kasut bila nak tendang bola tu ada sensor, bola tu dia boleh pergi kebarangkalian untuk gol tu tinggi. Sains, Inovasi Yang Berhormat Larkin.
Kesihatan bawah YB Yong Peng, memanglah sangat berkaitan rapat dengan STEM. Food Security di bawah YB Buloh Kasap. Thailand dah reka dah padi yang boleh dituai berkali-kali dalam masa setahun. Thailand ada pakar agro, mungkin mana tahu akan datang tiap kali sidang Dewan tiap kali tu kita dapat makan durian. Inovasi. Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah YB Bukit Permai banyak perkara yang dapat kita selesaikan dengan cepat kalau pejabat-pejabat Majlis Perbandaran, Bandar raya ini ada pakar STEM atau ada unit atau jabatan STEM di pejabat masing-masing. Pengangkutan, Infrastruktur, Komunikasi di bawah YB Bukit Pasir, STEM ini pasti akan dapat membantu mereka bentuk bahan premix nak bina jalan raya supaya lebih bertahan lama. Mungkin dapat bantu selesaikan kot permasalahan YB Kukup Jambatan Sungai Pulai tu bergelombang. Tapi yang buat bukan JKR yang buat SeaPort, cuma teknologi inovasinya tu macam tak tepat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, STEM ini akan menghasilkan pakar-pakar dalam bidang inovasi dan reka cipta sekarang ini pun pembangunan ekonomi sesebuah negara sebenarnya berorentasikan kepada teknologi. Saya ni kadang kalau duduk-duduk, duk bayangkan lah kalau Johor ni ada anak-anak hebat, anak-anak bijak dalam STEM ini dia boleh mengeluarkan pelbagai produk inovasi. Contohlah kata kat dalam Dewan ini rehal-rehal ini, rehal ni mana tau ada reka cipta kita tekan satu butang keluar daripada atas meja nak lebar mana nak lebar mana, inovasi. Hub tu datang daripada Johor. Cermin mata ni saya tekan satu butang saya boleh zoom oh, Pejabat Daerah Pontian ada hantar wakil, contoh.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Seterusnya adakah YB EXCO Pendidikan ini, persoalannya YB EXCO Pendidikan, adakah YB Pendidikan ini bersediakah untuk merancang mewujudkan hub STEM? Kalau negara yang ada buat hub STEM ini dekat England dekat Canterbury Chrischurch University kalau nak pergi jangan lupa bawa saya. Lepas itu kalau kita hub pendidikan STEM ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh tambah lagi satu produk pelancongan Edu-Tourism. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker saya nak cadang EXCO Pendidikan adakan bajet untuk repair makmal sains komputer, eh makmal sains komputer, makmal sains komputer dah bawah Kementerian Persekutuan. Nak repair makmal sains sekolah, makmal sains kat Malaysia ini jauh tertinggal kat belakang lah. Saya rasa KPM tak berapa serius nak bangunkan STEM Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab apa 60% pelajar STEM tak dapat. 57 tahun tak pernah dapat. Lepas itu dia adakan peruntukan RM1juta untuk makmal komputer dan perolehan barang. Tetapi tak ada bajet untuk baik pulih makmal sains sekolah. Adakan bajet untuk repair tandas. Oklah at least tandas cantik tapi tak ada bajet untuk makmal sains dan berkaitan dengan STEM. Sebelum kita ketinggalan jauh dengan negara lain terutamanya dengan negara-negara jiran negeri Johor perlu buat sesuatu berkaitan STEM ini. Biarlah Johor menjuari bidang STEM ini. Biarlah banyaknya pakar-pakar teknologi, engineering dan pakar-pakar inovasi ini lahir daripada negeri Johor ini. Hakikatnya untuk menjadi negeri maju dan menjayakan slogan maju Johor serta merealisasikan JS-SEZ ini Johor perlu menyediakan generasi yang mempunyai kemahiran aras tinggi melalui STEM. Kita kena jadi bangsa yang bukan sahaja menjadi pengguna kepada teknologi tetapi bangsa Johor perlu memiliki kemahiran dan kepakaran untuk mencipta inovasi dan teknologi baru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kawasan, isu bekalan air. Saya nak mintalah YB Bukit Pasir bantu saya ada satu isu dekat Taman Sri Aman daripada tahun 2022 sampai 2024 tak selesai lagi kata ada pertukaran paip baru tapi dah 3 tahun nampaknya macam tak ada apa-
apa perkembangan sampai saya takut nak pergi kawasan tersebut takut kena serbu, kena marah dengan penduduk kawasan. Seterusnya, saya nak ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas Program Semarak Subuh, saya nak ucap tahniah kepada rakan-rakan ADUN wanita yang tidak pernah jemu pergi juga ke masjid menghidupkan Program Semarak Subuh ini dan hebatnya wanita ini dia bawa sekali suami dia, dia bawa sekali anak dia keluarga dia pergi Semarak Subuh. Tahniah. Jadi oleh sebab itu saya setuju dengan YB Benut tambah peruntukan Program Semarak Subuh ini. Sebelum saya akhiri saya nak minta lah kita semua jangan lupakan isu Palestin. Saban hari Palestin ini teruk di bantai It’s not a war, it’s a genocide. It’s not a war, it’s a genocide. Kalau betul kita ada sifat rasa perikemanusiaan kalau kita tak ada rasa sifat tamak, kalau hati kita bersih, sudah tentu kita dapat lihat sebenar-benarnya yang berlaku di Palestin dan Gaza adalah pembersihan etnik. Jadi kita cubalah usaha yang mana yang kita boleh, kita doa untuk melumpuhkan ekonomi Israel sudah tentunya kena boikot produk-produk Israel. Dan nampaknya isu Palestin ini makin, semakin dilupakan di kalangan kita-kita semua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya pantun. Buah nangka manis rasanya, letak didulang di atas panggung, sekian sahaja perbahasan saya, Pulai Sebatang mohon menyokong. (Dewan bertepuk). Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumusalam warahmatullahi taala wabarakatuh, Pulai Sebatang. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Senai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Malaysia Madani, salam Maju Johor. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyertai sesi perbahasan rundingan di Dewan yang mulia ini. Patik menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor Sempena Perasmian Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Senai ingin merujuk titah Duli Yang Maha Mulia Tunku yang telah memberi perhatian terhadap isu gangguan bekalan air semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lebih 1,000 penduduk di Gugusan Murni Jaya, Kg Seri Muar dan FELDA Bukit Permai menghadapi masalah ketiadaan bekalan air. Dan masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama. Walaupun kawasan terlibat adalah di bawah kawasan DUN Bukit Permai.
Senai juga amat bersimpati dengan nasib Bangsa Johor ini, kerisauan Senai adalah memandangkan Johor menerima banyak pelaburan secara besar-besaran yang terdiri daripada pusat data kerana Johor berazam untuk menjadi Hab Pusat Data terbesar serantau. Bagaimanapun sekiranya masalah ketidakstabilan bekalan air tidak diatasi, dia akan menjadi semakin serius sehingga turut membawa impak negatif kepada Bangsa Johor apabila pusat-pusat data ini beroperasi.
Seperti yang difahamkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat, air penyejuk yang berjumlah besar adalah diperlukan oleh operasi pusat data. Senai difahamkan pembangunan Hab Pusat Data di negeri Johor telah tertumpu di kawasan Sedenak, Kulai yang dikenali sebagai Sedenak Tech-Park ataupun STeP. Senai dimaklumkan pembangunan STeP ini dibahagikan kepada dua fasa dengan keluasan tanah masing-masing adalah 700 ekar dan 640 ekar. Keperluan bekalan air masing-masing adalah hampir 20 juta liter sehari dan 31 juta liter sehari. Jadi, satu ketidaksamarataan dalam agihan sumber air yang dicerminkan di sini. Jika kita berupaya menghasilkan air bersih dengan tambahan berjuta-juta liter sehari untuk pusat-pusat data, mengapa kita tidak dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air di sekitar Gugusan Murni Jaya yang telah berlarutan lama yang juga berada di daerah Kulai?
Keperluan bekalan air yang berjuta-juta liter sehari ini bukan sahaja memerlukan sumber air yang stabil dan berterusan tetapi juga paip air yang dapat menampung dengan tekanan air tinggi. Menurut satu kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof semasa merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 baru-baru ini, sebanyak 40% air bersih hilang begitu sahaja disebabkan berlaku kebocoran paip usang selain isu kecurian. Isu kadar air tidak berhasil telah menyebabkan kerugian kepada negara melebihi RM2,000,000,000.00 setahun.
Senai amat setuju dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail yang menegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang perlu dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Oleh demikian, kerajaan Johor perlu mengutamakan agenda menggantikan paip-paip lama di seluruh Johor supaya dapat menurunkan kadar air tidak berhasil. Cadangan Senai untuk perkara ini adalah menetapkan syarat-syarat pembangunan terhadap pusat-pusat data sebelum kebenaran merancang diluluskan. Kerja-kerja menggantikan dan menaik taraf paip-paip air perlu dilaksanakan dahulu. Kestabilan bekalan air akan memberi manfaat kepada rakyat jelata dan juga menjamin pembangunan yang mampan dan lestari.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai tertarik dengan satu berita baru-baru ini, Mahkamah Seksyen Johor Bahru yang memerintahkan Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd ataupun SGV perlu membayar ganti rugi sebanyak RM721,000.00 kepada seorang mangsa, Razali @ Mohd Leey Subeh yang cedera selepas merempuh jalan berlubang tidak diselenggara di Pasir Gudang pada tiga tahun lalu. SGV adalah syarikat yang dilantik oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelenggaraan jalan PBT. Walaupun SGV dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi, Senai berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Seksyen Johor Bahru telah membuktikan sistem pengendalian dan penyelarasan kerja antara SGV dan PBT perlu lagi ditambah baik, segera, supaya masalah sama tidak lagi berulang di masa yang akan datang. Justeru, Senai mencadangkan supaya diwujudkan satu sistem pemantauan terhadap syarikat SGV yang mana untuk menilai perjalanan kerja-kerja dan masa yang akan diambil serta tindakan yang dijanjikan dapat ditunaikan kepada rakyat dalam masa secepat mungkin.
Ini kerana penangguhan masa disebabkan prosedur-prosedur ataupun birokrasi yang kompleks boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya berikutan kes-kes yang mendatangkan cedera kepada mangsa telah pun terjadi. Tujuannya supaya ke semua 16 PBT di Johor juga dapat memantau status aduan yang diterima. Kejadian Razali @ Mohd Leey Subeh adalah satu amaran kepada semua syarikat konsesi penyelenggaraan jalan, tidak kira jalan PBT, jalan negeri mahupun jalan persekutuan. Senai amat bersetuju pesanan Yang Berhormat Datuk Speaker di Dewan yang mulia ini, kita tidak mahu mempunyai kemudahan kelas pertama tetapi sifat mentaliti kelas ketiga dalam kerja-kerja penyelenggaraan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin mengucapkan tahniah kepada EXCO Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Bukit Permai dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kerana telah siap melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem peredaran trafik persimpangan bertingkat Bandar Putra ke Indahpura. Hasil daripada projek ini, isu kesesakan lalu lintas di Bandar Putra iaitu di bawah Kawasan DUN Bukit Permai telah disuraikan. Akan tetapi, aliran trafik yang lebih banyak telah dibawa ke Indahpura iaitu di bawah kawasan DUN Senai. Sebelum ini Indahpura sudah menjadi kawasan mempunyai aliran trafik yang paling padat di daerah Kulai. Senai pernah membangkitkan isu di dalam Dewan yang mulia ini pertama kali Senai diberi amanah oleh rakyat Senai. Sekarang, walaupun kerja-kerja naik taraf telah dilaksanakan, oleh kerana persimpangan turun ke Kulai dari Bandar Putra telah ditutup, keadaan kesesakan lalu lintas di Indahpura ditambah lagi dan sampai ke tahap kritikal.
Persimpangan lampu isyarat di depan OCBC Bank telah ditutup pun turut menyebabkan peniaga-peniaga di Jalan Kenanga 29/1 Indahpura terjejas teruk kerana menyukarkan para
pelanggan datang ke kedai mereka. Bukan itu sahaja, baru-baru ini peniaga-peniaga dan penduduk-penduduk di Jalan Teratai 36 Indahpura juga menghadapi kesulitan untuk mengakses ke Pusat Perdagangan Indahpura sejak aliran trafik bulatan AEON Kulai ditambahkan.
Yang amat dukacitanya Senai tidak terlibat dalam Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk projek ini. Mesyuarat sebanyak 6 kali, namun sekalipun Senai tidak dipanggil. Malah cadangan mengadakan sesi town hall yang dicadangkan oleh Senai untuk membincangkan rangka-rangka menambah baik pelaksanaan projek ini juga diambil oleh MPKu. Senai berpendapat bahawa proses pendengaran dan penyertaan awam adalah amat penting sebelum kerajaan menjalankan sebarang projek pembangunan yang mungkin mendatangkan impak negatif kepada pihak-pihak berkepentingan.
Selaku Wakil Rakyat, Senai juga berhak untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Senai. Senai berharap PBT dapat memainkan peranan sebagai perancang bandar ataupun town planner serta perlu membuat perancangan dengan teliti dan holistik, meluluskan projek pembangunan yang dapat betul-betul memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat. Kita tidak mahu projek-projek yang hanya membantu pemaju-pemaju yang mendapat keuntungan yang besar tetapi menjadikan rakyat sebagai mangsa pembangunan pesat.
Oleh demikian, isu kesesakan lalu lintas di Indahpura perlu dipandang serius oleh semua pihak yang berkaitan dan langkah-langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang perlu diambil dengan kadar segera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pekerja-pekerja pembersihan banyak menyumbang kepada mewujudkan persekitaran yang bersih dan kesejahteraan kepada masyarakat. Jika kita ingin mencapai aspirasi Johor Bersih, kita perlu memastikan kebajikan mereka dijaga.
Senai ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan dengan nasib 39 orang pekerja pembersihan dari 7 sekolah yang dengan mengalami masalah tunggakan gaji daripada majikan yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan sekolah daripada kerajaan. Pada November tahun lepas, sebelum menyambut Perayaan Deepavali, Senai menerima aduan daripada pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang menghadapi kesusahan apabila majikan mereka gagal membayar gaji bulanan tepat pada masanya dan ikut kadar gaji minimum.
Majikan tersebut masih gagal membayar gaji tertunggak walaupun sudah diberi masa yang secukupnya. Jadi saya, yang ada yang terpaksa meminjam wang dengan pihak sekolah dan juga kerja-kerja pembersihan di sekolah juga terjejas kerana ada pekerja-pekerja yang perlu mencari kerja sambilan. Senai berpendapat bahawa hak-hak pekerja perlu dibela khasnya bagi mereka dari golongan B40.
Saya telah membantu pekerja-pekerja pembersihan untuk memfailkan tuntutan gaji di Jabatan Tenaga Kerja, Johor Bahru supaya hak mereka terbela. Pada masa yang sama, Senai juga membawa isu ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulai dan berbincang bersama guru-guru besar sekolah yang terlibat. Senai meminta kontrak perkhidmatan kebersihan sekolah ditamatkan serta merta dan digantikan kontraktor yang baharu. Walau bagaimanapun Senai dimaklumkan oleh PBT Kulai memandangkan sekolah-sekolah terlibat memberi markah prestasi bulanan perkhidmatan kebersihan sekolah yang tinggi kepada kontraktor tersebut, proses penamatan kontrak mengambil masa yang lebih panjang. Dalam masa menunggu, pejabat saya telah memberi makanan dapur secara bulanan kepada pekerja-pekerja yang terlibat untuk memastikan mereka mempunyai makanan di atas meja.
Kini, saya amat gembira apabila dimaklumkan bahawa kontraktor bermasalah tersebut telah ditukar pada bulan lepas dan kontraktor baharu telah dilantik semula. Apa yang penting rezeki pekerja-pekerja tersebut juga terjamin semasa penukaran ini dijalankan. Tahniah dan syabas Senai ucapkan kepada PBT Kulai dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun, Senai ingin mengingatkan semua gate keeper yang memantau prestasi kontraktor kerajaan kuasa di tangan anda adalah amat penting untuk memastikan mutu perkhidmatan awam pada tahap yang cemerlang dan juga menjaga pekerja-pekerja supaya tidak ditindas. Jangan bagi mana-mana pihak berpeluang untuk mencemarkan nama perkhidmatan awam.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan agensi pengangkutan awam darat atas usaha membantu Senai menambahkan jumlah kekerapan trip Mybus di laluan T30 iaitu dari JB Sentral ke Terminal Kulai dengan memendekkan waktu menunggu bas dari 30 minit satu bas ke 20 minit. Untuk memenuhi keperluan pengangkutan awam warga Kulai dan Senai bermula pada 1 Mac 2024. Walau bagaimanapun penumpang Taman Puteri Kulai terpaksa mengambil Mybus di laluan baru iaitu F300 dan adalah feeder bus manakala waktu menunggu bas adalah 40 minit. Senai faham kekangan bajet yang dihadapi dan kontrak antara kerajaan dan konsesi Mybus adalah sampai 30 Mac 205. Senai berharap buat masa ini jumlah kekerapan trip untuk feeder bus dapat ditambahkan mengikut keperluan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2024 diumumkan sebagai Tahun Melawat Johor dengan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke Johor. Keperluan tenaga kerja dalam bidang hospitaliti dan pelancongan yang berkualiti adalah amat tinggi bagi negeri Johor. Adalah mustahil kita bergantung kepada tenaga kerja warga asing dalam bidang ini. Malahan pula Johor menghadapi ramai bangsa Johor memburu kerja di Singapura. Kerajaan perlu bekerjasama dengan pemain-pemain bidang hospitaliti dan pelancongan di negeri ini untuk memperkenalkan lebih banyak kursus TVET dalam memenuhi keperluan tenaga kerja. Pada masa yang sama geran penyelidikan TVET juga perlu disediakan untuk menggalakkan lebih ramai anak Johor mencari rezeki di tanah air sendiri. Selain itu, pemandu teksi khususnya di lapangan terbang merupakan satu kumpulan penting dalam mempamerkan imej baik negeri Johor di samping dapat membentuk persepsi orang ramai terutama pelancong asing. Persepsi biasanya terbentuk semasa penumpang teksi menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu tanpa interaksi dengan pemandunya. Oleh demikian inisiatif-inisiatif khas untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pemandu teksi, kelas komunikasi Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Cina, bantuan kewangan, pakaian seragam dan lain-lain akan mendokong tujuan menyambut pelancong ke Johor pada tahun 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, senai ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga YB EXCO Agama atas inisiatif memperkenalkan Program Semarak Subuh di 56 kawasan DUN. Menerusi program ini, hampir setiap Jumaat Senai sendiri turun padang untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat khususnya bersama kariah-kariah surau dan masjid sekali gus menyampaikan sedikit sumbangan. Senai bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bertanya tentang keadaan dan perkembangan terkini setiap surau dan masjid yang saya lawati. Dan, berusaha untuk membantu sekiranya ada kekurangan. Walaupun Senai bukan beragama Islam tetapi menjaga keperluan semua rakyat Senai adalah tanggungjawab Senai. Tidak kira latar belakang agama, kaum dan politik. Senai berharap Program Semarak Subuh akan diteruskan pada masa hadapan serta meminta kerajaan untuk menambah peruntukan lagi supaya setiap masjid dan surau dapat disantuni dengan lebih baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah belajar satu pepatah Cina semasa sesi lawatan ke Shenzhen, iaitu ‘Te Shi Te Ban’. Bermaksud ‘Untuk mencapai sesuatu hasil yang luar biasa, kita harus melakukan perkara-perkara dengan cara yang melangkaui kebiasaan’. Di sini, Senai ingin membuat
kesimpulan dengan rendah diri, mengajarkan semua Ahli Yang Berhormat satu pepatah Cina lagi, iaitu, dengan izin “Xiao Shi Bu Zuo, Da Shi Nan Cheng” bermaksud, kebiasaan kecil tidak diperhatikan, hasil luar biasa tidak akan dicapaikan. Walaupun dalam ucapan Senai tadi banyak sentuh isu yang dilihat remeh, namun semuanya adalah penting untuk kita mencapaikan kejayaan dan kemajuan untuk Johor yang tercintai. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Senai. Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu Parit Raja merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan dan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Ke-3 Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara yang menarik perhatian Parit Raja untuk dibahaskan dalam perbahasan Parit Raja hari ini. Titah Diraja adalah umpama sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut. Kerana ia merupakan satu nasihat, ia merupakan satu teguran dan pandangan yang wajar dijadikan panduan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta kemajuan negeri dapat terus dipelihara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya apabila Parit Raja mendapat giliran perbahasan antara yang akhir, hari ini, ini adalah satu tempoh yang amat mencabar ibarat kata kalau ada pembahagian kek, mungkin Parit Raja hanya dapat buah ceri hiasan sahaja. Tetapi kalau dapat pembahagian asobah mungkin warga Parit Raja agaknya lebih sejahteralah daripada yang lain-lain, Insya-Allah. Lebih-lebih lagi bila Parit Raja terpandang Yang Berhormat Sedili yang dari tadi berzikir ucapan perbahasannya. Entah apalah yang akan dimohon untuk warga Sedili nanti. Namun, pada masa yang singkat ini Parit Raja akan manfaatkan untuk membawa dan mewakili suara orang Parit Raja Insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pendidikan. Satu bidang yang amat penting untuk pembangunan modal insan. Penyediaan infrastruktur yang baik amat penting bagi menjayakan hasrat ini. Permohonan demi permohonan sudah dikemukakan. Namun pulang dengan tangan kosong sahaja. Iaitu berkenaan permohonan penyelenggaraan fizikal bangunan Sekolah Kebangsaan Parit Raja yang mengalami kerosakan teruk sehingga kini merbahayakan warga sekolah dan terdapat kawasan-kawasan yang masih ditutup oleh pihak JKR. Kerosakan pada struktur bangunan Sekolah Kebangsaan Parit Raja nampaknya tiada berkesudahan. Sehingga hari ini, tiada pemakluman apakah status permohonan baik pulih sebahagian bangunan yang tiada jaminan keselamatan terhadap keseluruhan warga sekolah. Katanya, suruh tunggu laporan forensik struktur dan geoteknik. Laporan pemeriksaan struktur bangunan dan pelbagai lagi. Yang sehingga hari ini, belum nampak sinar dihujung terowong. Pilihan raya pun sudah silih berganti. Parit Raja amat berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya bagi menjamin keselamatan seluruh warga sekolah. Parit Raja juga amat berharap Yang Amat Berhormat Menteri Besar dapat mempertimbangkan kelulusan permohonan yang dimajukan bertarikh 25 Mac 2024. Untuk cadangan membina dewan terbuka serbaguna berbumbung agar dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah sementara menunggu kelulusan peruntukan baik pulih seperti yang dijanjikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lagi, dukacita dengan kejadian kebakaran pada sebahagian blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail pada bulan Jun tahun lalu. Sehingga hari ini pelajar terpaksa menumpang belajar di tempat-tempat yang tidak kondusif oleh kerana bangunan yang terkesan masih belum dapat dibaik pulih. Oleh yang
demikian, Parit Raja inginkan jawapan apakah status terkini baik pulih kerosakan yang telah berlaku akibat kejadian yang tidak diingini tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga ingin membangkitkan isu bangunan kelas yang telah uzur di Sekolah Agama Seri Pulih Kampung Parit Lapis sempadan Parit Raja. Pihak jabatan sewajarnya bekerjasama dengan pihak JKR dalam mendapatkan laporan pemeriksaan tahap keselamatan dan cadangan pembaikan kerosakan bangunan sekolah yang tersebut. Namun, pastinya anggaran kos pasti jauh lebih meningkat berbanding cadangan pada tahun 2020 yang lalu. Pembaikan bangunan tersebut adalah amat penting memandangkan bilangan penduduknya yang semakin bertambah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Parit Raja ingin memanjangkan suara rakyat berkaitan bekalan air bersih kepada penduduk. Selari dengan slogan Maju Johor, serta menjunjung kasih di atas titah Diraja mengenai bekalan air bersih. Jika dilihat dari mata kasar sudah tentu kawasan Parit Raja yang mana terdapatnya institusi pengajian tinggi dan kawasan-kawasan perindustrian akan mendapat bekalan air yang secukupnya. Namun, Parit Raja tidak ketinggalan untuk disenarai sebagai kawasan berisiko sering mendapat gangguan bekalan air bukan sahaja pada hari-hari perayaan, namun sudah melarat ke hari-hari biasa. Parit Raja pernah mengadakan satu sesi libat urus bersama pihak Ranhill SAJ bertarikh 9 November 2022 berkaitan gangguan bekalan air berikutan kepadatan penduduk yang semakin bertambah.
Persoalannya, apakah status terkini 3 pelan yang telah dijanjikan oleh pihak Ranhill SAJ iaitu, pelan jangka pendek, mengecilkan kawasan zon bagi pengagihan sumber air supaya mendapat lebihan air bermula 9 November tersebut. Pelan jangka sederhana, mengambil sumber air daripada zon barat untuk disalurkan kepada kawasan yang bermasalah. Dan, pelan jangka panjang, sedang dikaji cadangan untuk membina loji baharu di kawasan Parit Raja bagi menampung keperluan air kepada penduduk dan kawasan-kawasan perindustrian yang semakin membangun pada masa akan datang di kawasan Parit Raja. Ini sudah tahun 2024, apakah perkembangan terkini yang mungkin membawa khabar berita gembira buat warga Parit Raja dalam menangani kemelut yang tiada berkesudahan ini?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja ingin menarik perhatian kerajaan negeri berkaitan isu pembaikan dan menaik taraf jalan kampung. Nampaknya kini, wakil-wakil rakyat menjadi sasaran amarah kerana hak rakyat seolah-olah tidak pernah dipenuhi untuk mendapatkan infrastruktur yang lebih selesa untuk rakyat keluar mencari rezeki dan menjalankan rutin harian. Kualiti pembinaan jalan yang teruk, terlalu cepat rosak persolan yang sering kali dimainkan oleh rakyat antaranya. Adakah kontraktor jalan benar-benar menepati indikator pembinaan jalan seperti yang ditetapkan ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga. Adakah tindakan penguatkuasaan yang sangat lemah oleh jabatan dan agensi yang berkaitan? Dengan keadaan lori yang semakin berleluasa di jalan-jalan kampung, meletakkan kenderaan berat berhenti di tepi jalan sesuka hati, melalui kawasan persekolahan sewaktu masa-masa kemuncak dan banyak lagi permasalahan yang berkaitan. Mungkin kita tidak pernah dibentangkan apakah yang telah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan dan agensi yang boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sama ada pemandu lori ataupun pemilik syarikat yang boleh mengundang bahaya terhadap orang awam. Dan memburukkan keadaan, kenderaan berat ini memberi risiko merosakkan jalan kampung dan jalan negeri, ataupun adakah kerosakan jalan-jalan ini disebabkan faktor bencana? Jalan rosak akibat berkali-kali ditenggelami air banjir juga belum selesai. Contohnya di Jalan Utama, Kampung Baru, Mukim 8, Seri Gading yang rosak teruk akibat bergenang air. Banyak kali permohonan, tetapi masih belum juga dapat dibaiki.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini belum lagi jalan yang sangat berisiko, yang boleh mengundang kemalangan maut seperti di persimpangan Jalan Parit Raja Darat (J121) jalan
penghubung utama Parit Raja ke DUN-DUN kawasan lain. Kemalangan yang berlaku tiada berkesudahan. Saya berterima kasih kepada pihak JKR Batu Pahat yang sudi mendengar dan telah mengambil langkah proaktif dengan memasang rumble strips dengan izin, bagi tujuan memberi amaran kepada pemandu untuk lebih berwaspada di persimpangan dan mengurangkan risiko kemalangan sebelum perayaan Aidilfitri. Parit Raja membawa suara orang kampung dan penduduk setempat, bahawa sudah sampai keperluan persimpangan tersebut di naik taraf berserta pemasangan lampu isyarat demi kesejahteraan pengguna yang lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, oleh kerana wujudnya pelbagai institusi pengajian dan pembangunan di kawasan Parit Raja, infrastruktur jalan perhubungan menjadi satu keperluan yang sangat utama. Sejak pemasangan traffic light di persimpangan Jalan Kampung Parit Sempadan, kini laluan yang bertaraf jalan kampung tersebut menjadi terlalu sibuk sekali gus juga mengundang kenderaan berat. Maka Parit Raja mohon kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk jalan tersebut diangkat sebagai jalan, diangkat dan dinaik taraf menjadi jalan negeri agar dapat dimanfaatkan oleh seluruh pengguna yang merupakan jalan penghubung ke kawasan-kawasan lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di samping itu kerajaan negeri diharap mengambil langkah yang lebih proaktif memperketatkan syarat dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemaju-pemaju perumahan dan juga kontraktor. Hal demikian kerana terdapat pemaju yang tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan jalan akibat kecuaian pihak pemaju sehingga kesan dan akibatnya terpaksa ditanggung oleh penduduk asal khususnya warga pinggir bandar dan juga kampung. Kerajaan negeri perlu memberi perhatian terhadap perkara-perkara sebegini, menyatakan usaha dan komitmen dengan mengemukakan cadangan dalam menyelesaikan permasalahan ini dan apakah kaedah yang tuntas kerajaan negeri dalam mengurus pemaju agar pada masa yang sama kesejahteraan dan keselamatan rakyat dalam keadaan yang terjamin khasnya bagi warga pinggir bandar yang sedang pesat membangun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara perkara yang meresahkan warga DUN Parit Raja ialah isu banjir. Nampaknya juga tiada berkesudahan. Dan lebih mendukacitakan apabila pihak berwajib seolah tiada perancangan. Pada sidang Dewan DUN yang lalu, Parit Raja telah membangkitkan soalan yang berbunyi, masalah banjir termenung di Kampung Sungai Biuh telah menjadi rungutan penduduk kerana banjir termenung bermula di kawasan kebun dan apabila hujan yang berlarutan akan menyebabkan rumah penduduk ditenggelami air. Terdapat pintu air yang tidak diselenggara menyebabkan air dari kolam tadahan SAJ mengalir ke kawasan Kampung Sungai Biuh. Oleh yang demikian, apakah tindakan pihak kerajaan dan SAJ dalam menangani masalah yang menyebabkan banjir tersebut? Jawapan yang telah diberikan pada 3 Disember 2023 adalah amat mendukacitakan. Tiada perancangan pun untuk membantu warga kampung dan hanya jawapan akademik sahaja. Dan hingga hari ini, tidak ada satu tindakan pun yang diambil oleh agensi yang berkaitan. Jadi Parit Raja amat berharap kerajaan negeri untuk mengambil tindakan proaktif dalam membantu orang kampung menangani permasalahan yang membelenggu mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat. Rancangan Kawasan Khas (RKK) telah disusun dan dirancang melibatkan keseluruhan pekan-pekan kecil dalam daerah Batu Pahat. Apa yang ingin Parit Raja bangkitkan ini adalah bagi menyokong keperluan golongan belia, bukan sahaja di kawasan Parit Raja, tetapi apa yang lebih penting adalah menjadi simbol kepada daerah Batu Pahat. TMIYC ataupun Tunku Mahkota Ismail Youth Center Daerah Batu Pahat sebagaimana yang telah dicadangkan oleh MPBP agar dapat dibangunkan dan memberi nafas baru kepada seluruh lapisan masyarakat. Tapak cadangan yang telah diangkat oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat iaitu di dalam kawasan Pura Kencana Sri Gading akan menjadi lokasi tumpuan
baharu bagi acara-acara tahunan dan dapat memberikan manfaat untuk kehidupan yang lebih sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini Parit Raja menepati masa perbahasan dengan dua rangkap pantun. Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi, kalau jadi katakan jadi, tidaklah hamba ternanti-nanti. Anak ayam disambar helang, dari enam tinggallah lima, harimau mati meninggalkan belang, manusia berbudi meninggalkan nama. Parit Raja percaya bahawa apa yang telah dibangkitkan dan disuarakan mewakili rakyat kawasan DUN Parit Raja akan mendapat perhatian yang sewajarnya dari kerajaan negeri. Akhir kata, laut ditimba tidak akan kering, Parit Raja yakin dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kerajaan negeri akan terus komited untuk memberi kesejahteraan buat Bangsa Johor. Sekian Parit Raja mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Dipersilakan Yang Berhormat Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selamat sejahtera, Salam Maju Johor dan Salam Malaysia Madani kepada semua Ahli-Ahli Dewan. Mengkibol amat berbesar hati kerana diberi kesempatan berada di dalam Dewan yang mulia ini mewakili rakyat Mengkibol untuk bersama mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Patik ingin menzahirkan ucapan tahniah ke atas pelantikan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor. Semoga Bangsa Johor akan terus makmur dan sejahtera di bawah naungan Tunku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon Perpaduan, saudari Pang Sock Tao yang telah memenangi kerusi Kuala Kubu Bharu. Kemenangan ini telah menunjukkan satu formula menjelang dan menuju ke PRU dan PRN yang akan datang. Formula ini adalah Pakatan Harapan campur UMNO, campur MIC. Yang Berhormat Permas dalam ucapan juga berkata, UMNO jika berjanji tidak akan mungkir dan UMNO bila berkata sentiasa akan dikota. Saya percaya.
Yang Berhormat, kita beri laluan untuk laluan azan.
(Persidangan ditangguhkan bagi menghormati laungan azan)
Yang Berhormat Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Mengkibol sambung. Saya percaya akar umbi UMNO dan MIC di Johor telahpun menerima konsep Kerajaan Perpaduan. Cuma satu lagi Parti M, saya tidak pasti kenapa parti ini masih sering menyerang Kerajaan Perpaduan pusat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol ingin menumpu pada satu topik yang paling terdesak yang telah pun dicadangkan demi kesejahteraan rakyat sejak tahun 2018 tetapi belum disiap selepas enam tahun iaitu projek penyambungan jalan VBC, Jalan Mengkibol. Mengkibol berasa sangat kecewa terhadap jawapan bertulis mengenai soalan bagi status pelaksanaan jalan sambung VBC atau Vehicle Box Culvert untuk laluan kenderaan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan projek jalan sambung ini disebabkan oleh keperluan untuk melaksanakan projek-projek lain yang lebih mendesak. Adakah satu projek yang telah dinanti-nantikan selama enam tahun dan petisyen yang mendapat tandatangan penduduk sebanyak 2,000 lebih yang menyokong projek jalan sambung ini dan kesesakan yang semakin teruk di Kluang tidak dikira sebagai mendesak. Malah Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga pernah mengakui kesesakan jalan raya di
kawasan tersebut dan beliau juga pernah merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat yang menggunakan jalan tersebut setiap hari. Projek jalan sambung Mengkibol Renggam ke Jalan Kota Tinggi melalui Vehicle Box Culvert (VBC) ke Jalan Sawi dan Jalan Kluang Indah telah bermula sejak 2018.
Projek ini akan memberi impak yang sangat besar kerana jalan bypass ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama yang berkaitan di Kluang, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat. Malangnya projek pembinaan jalan ini untuk menyambungkan VBC ini masih belum dilaksanakan. Cabaran utama projek ini adalah dana peruntukan dan beberapa isu teknikal yang sebenarnya boleh diatasi. Selepas lawatan tapak yang dipanggil oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2018, pada tahun 2020 semasa PKP, VBC ini telah siap dibina oleh SIPP YTL secara CSR pada kos kira-kira RM2,000.000.00. Terima kasih kepada YTL. Pada masa tahun 2023, pihak MPK telah menyediakan satu laporan perancangan dan menganggarkan kos sebanyak RM4,200,000.00. Perancangan ini bagi membina satu jalan sambung yang termasuk satu jambatan dua hala. Kos ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan satu cadangan lain iaitu Projek Jalan Pintasan Kluang, atau Kluang bypass yang bernilai RM60,000,000.00. Yang Amat Berhormat Menteri Besar memaklumkan Mengkibol di semasa sidang Dewan Disember tahun lepas bahawa antara faktor kesukaran ialah isu teknikal. Walau bagaimanapun, bukankah menjadi tanggungjawab atau peranan kita sebagai Wakil Rakyat dan menjadi harapan rakyat terhadap Wakil Rakyat mereka untuk mencari penyelesaian mengatasi kesukaran teknikal.
Pada November 2021, Mengkibol diberikan ulasan teknikal bahawa ketinggian 4 meter VBC ini tidak mencukupi, tetapi sebenarnya syarat 5.4 meter ini tidak digunapakai di kes ini kerana VBC ini bukan berada lebuh raya, tetapi ianya merupakan satu terowong yang telah pun disiap bina dan berada di bawah tambakan tanah landasan keretapi demi menghubungi jalan taman ke kawasan kediaman. VBC yang lebih kecil dan yang lebih rendah telah pun dibina di Nyior Paloh bawah tambakan tanah landasan keretapi dan juga di Machap, kawasan MB, di bawah lebuh raya PLUS demi menghubungi, menghubungkan kampung yang terpisah oleh landasan keretapi atau lebuh raya. Seterusnya terdapat juga seorang ketua jabatan agensi yang melawat lokasi yang salah, pergi ke drainage culvert, longkang laluan air yang berada 100 meter jauh dari pergi ke box culvert ini. Baik. Ini durian, itu durian belanda, 2 jenis culvert yang berlainan kemudian timbul pula isu teknikal Jabatan JPS. Bahawa jalan sambung ini berada dalam kawasan Projek Tebatan Banjir manakala mengikut pelan Pejabat Tanah, jalan sambung ini melalui kawasan kediaman hak milik yang mempunyai penduduk yang padat. Jadi mana satu yang betul?
Pihak kami merujuk kepada Rancangan Tempatan Daerah, RTD Kluang 2030 dan mendapati kawasan tebatan banjir tersebut sebenarnya bukan berada di kawasan cadangan projek jalan sambung ini. Malah kawasan ini merupakan kawasan kediaman padat tidak sesuai untuk Rancangan Tebatan Banjir atau Kolam Takungan Banjir. Sebalik mengikut RTD Kluang 2030, Kolam Takungan Banjir Mengkibol yang seluas 17 hektar ini betul-betul berada di satu kilometer dari VBC, satu kilometer. Yang berada bertentangan dengan persimpangan lampu isyarat Taman Muhibah di mana Projek Kluang Bypass dicadangkan untuk dibina. Sekiranya mengikut ulasan JPS ini Projek Kluang Bypass yang bernilai RM60,000,000.00 ini haruslah dipertimbangkan semula.
Terdapat juga ulasan isu pengambilan tanah yang dikatakan memerlukan kos yang tinggi sebenarnya boleh juga diselesaikan dengan menukarkan tapak empat lot kediaman kosong ke tapak reserve dewan di sebelah secara land swap. Tanpa jalan sambung VBC, lot-lot tapak perumahan ini tidak mempunyai jalan masuk dan pemilik tanah tidak dapat membina rumah. Pemilik tanah menghantar surat aduan kepada Pejabat Tanah dan bertanya adakah mereka harus berenang melalui sungai balik ke rumah? Maka pembinaan jalan sambung VBC ini
sebenarnya menjadi satu penyelesaian untuk jalan masuk dan sangat dialu-alukan para pemilik di sana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, YB EXCO Bukit Pasir yang juga telah melawat tapak cadangan projek ini jalan sambung ini pada bulan Mac yang lalu, Mengkibol memandu kereta bawa YB EXCO demi melihat keadaan selekoh masuk Taman Sunrise yang berada beberapa meter dari tapak cadangan projek jalan sambung ini. Kerana selekoh ini menyerupai selekoh masuk ke VBC mengikut nasihat Jurutera Jalan. Dengan adanya storage road yang cukup panjang, aliran traffic channelling yang tetap, ataupun jarak penglihatan sight distance dengan izin, yang mencukupi tidak ada risiko dan tidak memerlukan lampu isyarat. Mengkibol juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana YB EXCO telah bersetuju untuk membuat satu mesyuarat penyelarasan teknikal bagi jabatan-jabatan yang terlibat seperti Majlis Perbandaran Kluang, Pejabat Tanah Daerah Kluang, Jabatan Pengaliran dan Saliran Johor dan Jabatan Kerja Raya Kluang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu teknikal kecil boleh selesai sendiri, isu teknikal yang besar memerlukan kuat usaha Wakil Rakyat.
Topik kedua, konsep bay area, Kawasan Teluk Johor-Singapore. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telahpun melawat Shenzhen yang merupakan Special Economy Zone yang ditubuhkan sejak 42 tahun yang lalu. Mengikut MB punya pepatah cina yang MB pelajari semasa di Shenzhen iaitu (pepatah cina) yang bermaksud untuk mencapai sesuatu hasil yang luar biasa, kita harus melakukan perkara-perkara yang melangkaui kebiasaan. Pepatah yang popular dalam sidang Dewan pada kali ini. Pada tahun 2019, termasuk Shenzhen, satu strategi yang baharu, satu konsep kawasan teluk iaitu Da Wan Chi atau Guangdong Hong Kong Macau Greater Bay Area telah diperkenalkan oleh Kerajaan China, ia merangkumi Hong Kong Macau dan 9 lagi bandar negeri Guangdong. Kawasan ini seluas 56,000 kilometer persegi adalah 16 kali ganda SEZ yang lokasinya adalah di kawasan Iskandar Malaysia campur Pengerang. Kawasan SEZ ini merangkumi kawasan seluas 3500 kilometer persegi melibatkan 6 PBT dari Iskandar Puteri di barat hingga ke Pengerang di timur. Mengkibol ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya merangka satu pelan komprehensif untuk kawasan teluk ini yang mampu saling melengkapi atau complement each other. Antara empat kawasan teluk yang mempunyai nilai ekonomi tertinggi di dunia adalah number one, San Francisco Bay Area, kedua New York Bay Area ketiga Tokyo Bay Area dan keempat adalah Guangdong Hong Kong Macau Greater Bay Area.
Dalam ucapan Dewan YB Perling pada 12 Mei juga dicadangkan konsep Greater Johor Bahru dan peranan Forest City. Dengan terbentuknya Iskandar Region (IRDA), SEZ, SFZ Forest City maka kerajaan negeri boleh menambah baik posisi, atau repositioning, merangka strategi, menginterasi dan merangka satu pelan strategi yang baharu, yang holistik dan kawasan ini boleh dinamakan sebagai Iskandar Bay. Sekiranya campur lagi Singapore dia boleh menjadi Johor-Singapore Greater Bay Area sekiranya Singapore bersetuju.
Salah satu strategi yang penting adalah pelaksanaan keretapi kelajuan tinggi HSR, Singapore-Kuala Lumpur dan RTS yang mengamalkan sistem single boundary clearance iaitu satu bangunan dua kastam yang menyatukan imigresan dua negara pada satu tempat yang sama. Sejak tahun 2018 telah beberapa kali Mengkibol mencadangkan dan menekankan betapa pentingnya efisien pendekatan ini. Ia bukan perkara yang baharu, bukan. Ia telah lama dipraktis, di Eurostar melalui under sea tunnel antara London ke Paris, di beberapa airport antara US dan Canada di HSR Hong Kong, Guangdong di kastam Macau Gongbei. Dan bay area ini Terminal Feri Stulang yang berada di waterfront juga boleh dipertimbangkan untuk dihubungi dengan Changi Airport Singapore.
Mengkibol melihat lawatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke Singapura pada 6 Mei ini juga merupakan satu petanda bahawa pentingnya Malaysia terutama negeri Johor untuk mengambil peluang dengan hubungan baik Malaysia-Singapore.
Topik tiga, permohonan Autonomous Rapid Transit System. Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol menyokong keputusan kerajaan negeri untuk bertukar daripada pembinaan LRT kepada ART. Yang lebih menjimat kos, Mengkibol dimaklumkan ART ini adalah berkuasa elektrik. Mengkibol ingin mencadangkan ART berkuasa hidrogen, seperti ART di Sarawak dan bukannya berkuasa elektrik. Ini disebabkan penggunaan ART hidrogen akan dapat membentuk satu ekosistem agenda hijau. Mengkibol dalam ucapan sidang Dewan Disember 2023, juga memberi beberapa cadangan mengenai ekonomi berasaskan hidrogen green methanol yang dapat meningkat daya saing negeri Johor.
Keempat, kesesakan Lebuh Raya PLUS. Soalan mengenai kesesakan Lebuh Raya Utara Selatan telah dibangkitkan oleh YB Panti dan YB Mahkota pada 13 Mei. Pada tahun 2021, Mengkibol telah mencadangkan inisiatif link Johor yang merupakan jalan sambung kepada rangkaian lebuh raya yang menghubungkan jalan darat negeri. Demi mengurangkan kebergantungan kepada Lebuh Raya PLUS yang semakin sesak. Mengkibol sekali lagi mencadangkan agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan jalan sambung berikut, pertama membina seksyen jalan sambungan 20 kilometer dari Layang-Layang terus ke Malaysia-Singapore Second Link yang menghubungi ke Kulai dan Senai Airport. Kedua membina seksyen jalan sambungan 15 kilometer dari Bandar Tenggara terus ke Senai-Desaru Expressway (SDE) supaya menyambung ke Ulu Tiram, Johor Jaya, Pelabuhan Pasir Gudang. Kedua dua jalan sambungan ini pendek tapi dapat dijadikan jalan alternatif yang selari dengan Lebuh Raya Utara Selatan yang sering berlaku kesesakan pada musim perayaan dan percutian. Ini juga akan memberikan kesan limpahan ekonomi, spillover effect yang tinggi kepada perkembangan ekonomi yang seimbang di seluruh negeri Johor.
Kelima, Enakmen Anti Lompat Parti Negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2021, Mengkibol bersama 6 ADUN ketika itu iaitu Stulang, Johor Jaya, Yong Peng, Pekan Nanas, Jementah, Paloh telah membawa cadangan kepada Pejabat Menteri Besar agar satu RUU Anti Lompat Parti dibentangkan di Dewan Negeri. Pada tahun 2022, Mengkibol sekali lagi bersama 3 ADUN iaitu Simpang Jerai, Stulang, Senai juga membawa satu kenyataan, membuat satu kenyataan media bersama mendesak pelaksanaan Enakmen Anti Lompat Parti. RUU Perlembagaan (Pindaan) (Nombor 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Melompat Parti telah Berjaya diluluskan dan dilaksanakan. Ini berjaya meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi yang diamalkan dan kestabilan politik. Sehubungan dengan itu, Enakmen Anti Lompat Parti perlu dibawa untuk diluluskan di Dewan Negeri agar dapat dilaksanakan di peringkat negeri. Setakat ini hanya Johor, Pahang dan Terengganu belum ada Enakmen Anti Lompat Parti. Negeri Johor seharusnya tidak ketinggalan dalam usaha memperkasakan enakmen ini.
Keenam, memperkasakan Dewan Negeri Johor. YB Benut mencadangkan supaya interaksi antara Wakil-Wakil Rakyat dan ketua-ketua jabatan dapat ditingkatkan dengan adanya maklumat-maklumat tambahan dan juga maklumat-maklumat terkini yang dapat dibekalkan oleh ketua-ketua jabatan. Cadangan YB Benut juga dapat disambut baik oleh YB Perling dan turut mencadang agar lebih banyak Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan diwujudkan untuk mesyuarat semasa Dewan tidak bersidang. Maka, Mengkibol sebenarnya pada Jun 2022 dan sidang Dewan juga pada penggal yang lalu juga mencadangkan agar diwujudkan Second Chamber seperti yang diamalkan di Parlimen. Dengan ini sesuatu perkara yang memerlukan pebahasan lebih teliti dapat dilakukan.
Ketujuh, peruntukan projek kecil dan bekalan secara pemberian terus. Mengkibol ingin mencadang peruntukan projek ini diberikan secara sumbangan terus. Ini bagi membolehkan
projek dilaksanakan dengan lebih cepat kepada penerima sekaligus mengurangkan beban kerja kepada Pejabat Daerah yang perlu membuat kerja teknikal pemantauan dan proses perolehan. Setiap Pejabat Daerah perlu mengendalikan banyak kawasan DUN sebagai contoh Pejabat Daerah Kluang mengendalikan untuk 6 DUN. Dengan reformasi ini para penerima dapat menyelesai isu dengan segera.
Lapan, kelestarian alam sekitar dan cadangan zon penampan. Pada tahun 2022, Mengkibol telah membawa isu kawasan Gunung Lambak yang telah diterokai pada aras ketinggian kira-kria 260 meter dari aras laut dan memberi kesan terhadap Gunung Lambak dan ekosistem kawasan tersebut. Kini pada tahun 2024, warga Kluang sekali lagi menyaksikan kawasan hak milik di kaki Gunung Lambak ditebang bagi membuka ladang kelapa sawit. Mengkibol sekali lagi mencadangkan zon penampan atau conservation zone diwujudkan bagi memisahkan hutan simpan dan tanah persendirian.
Disebabkan oleh kekangan masa, walaupun ada beberapa topik lagi. Saya ingin ambil kesempatan ini sebagai juga Ahli PAC Negeri mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Ketua Audit Negara kerana menyediakan satu laporan yang baik dan menunjukkan banyak pertemuan audit, kelemahan-kelemahan agensi dan jabatan kerajaan dan juga syarikat negeri dan juga satu memorandum yang sangat baik kerana update apakah pembetulan yang telah dilaksanakan.
Akhir sekali Mengkibol mohon menyokong rundingan menjunjung kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor. Sekian, terima kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat Mengkibol. Waktu bahas belum lepas, dijemput ADUN Kempas.
Bismillahirirahmanirraman terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. (Doa). Segala puji-pujian hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW serta kerabat, para sahabat dan pengikut baginda hingga ke akhir zaman. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Kempas sekali lagi diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 dalam Dewan Yang Mulia pada hari ini. Terlebih dahulu izinkan patik merafak sembah mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih di atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-15 pada hari Khamis 9 Mei 2024 yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas menjunjung kasih titah ucapan Pemangku Sultan Johor yang amat prihatin soal kesejahteraan sosial rakyat dimana baginda telah menyentuh persoalan pokok yang masih membelenggu dan menjadi ancaman kepada perkembangan sosioekonomi negeri ini. Antaranya soal sara hidup, tempat kediaman, pendidikan berkualiti, kemudahan asas serta kemudahan kesihatan rakyat. Semoga semua teguran dan nasihat Baginda dapat diberikan perhatian serta diambil tindakan demi pertumbuhan sosioekonomi agar kesejahteraan rakyat bangsa Johor dapat ditambah baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Ahamdulilah beliau bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga dibantu oleh anggota perkhidmatan awam negeri Johor telah memberikan komitmen dan sentiasa bekerja keras dalam melunaskan tanggungjawab sepanjang tempoh 2 tahun mentadbir urus negeri tercinta.
Sepanjang tempoh ini, pencapaian Johor dalam memacu pertumbuhan ekonomi terus mengukuh dan berjaya mencapai prestasi yang tinggi ketika dunia termasuk Malaysia terkesan dengan pasca pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan ekonomi dunia, namun keupayaan pimpinan negeri telah berjaya mengekalkan Johor sebagai antara kuasa ekonomi terbesar di negara ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara pencapaian dalam tempoh 2 tahun ini, Johor telah menerima RM113,700,000,000.00 pelaburan yang mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan dalam usaha membangun dan menaik taraf infrastruktur misalnya, kerajaan telah berjaya menaik taraf 444 kilometer jalan di seluruh negeri Johor, sama ada di dalam mahupun di luar bandar. Antaranya, Jalan Pasir Gudang, Masai Lama, Sungai Tiram, Jalan Perindustrian Pasir Gudang dan Kota Tinggi, Mersing, Muar, Labis, Jalan Bekok, Jalan Pekan Seelong, Jalan Tebrau dan banyak lagi. Selain itu, kerajaan negeri juga telah berusaha membantu mencari jalan penyelesaian bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Kompleks CIQ, Bangunan Sultan Iskandar, BSI, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Ini bertujuan untuk meningkatkan keselesaan lebih kepada lebih 250,000 orang pengguna bagi kedua-dua hala di Tambak Johor pada setiap hari. Usaha ini dilakukan adalah bagi memastikan rakyat Johor khususnya yang bekerja di Singapura mempunyai lebih masa yang berkualiti bersama keluarga daripada menghabiskan masa mengharungi kesesakan di pintu masuk sempadan. Dalam tempoh 2 tahun ini juga, Johor telah menempa nama di mata dunia, apabila menjadi tuan rumah bagi beberapa program bertaraf antarabangsa seperti Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023 yang telah disertai oleh 3,800 peserta dari 108 buah negara. Selain itu, Program Johor International Student Leader’s Conference (JISLC) pada tahun 2024 dan telah menghimpunkan seramai 1,500 orang peserta dan Johor juga telah menganjurkan Johor International Youth Conference 2023 dengan penyertaan 500 orang belia dan pemimpin masyarakat yang sekaligus turut menjadikan Johor sebagai tuan rumah program di peringkat antarabangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam penyediaan kediaman untuk rakyat turut diberikan keutamaan oleh kerajaan iaitu apabila 4,217 rumah mampu milik telah siap dibina dalam tempoh yang sama. Bukan itu saja, fasiliti pusat pelancongan di sekitar bandaraya Johor Bahru, 6 taman negara dan lokasi pelancongan eco ke arah menjadikan Johor sebagai lokasi tarikan pelancong turut dinaik taraf. Tatkala memastikan pembangunan pesat dilaksanakan di negeri Johor tanggungjawab kepada Sang Pencipta turut diberikan perhatian dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan Johor yang sejak dahulu telahpun melaksanakan Program Membudayakan Al-Quran, kini kerajaan Johor mengusahakan lagi dengan mewujudkan Program Semarak Subuh yang telah dianjurkan di semua 56 kawasan DUN setiap minggu. Alhamdulillah, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya kita mempunyai senarai yang panjang mengenai inisiatif dan pencapaian yang diraih oleh negeri Johor yang telah kita sama-sama nikmati. Tahniah diucapkan kepada barisan pimpinan kerajaan negeri dan semua pihak yang telah menjayakannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas menyokong rancangan kerajaan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Kempas amat yakin jika usaha ini telah laksana ianya bakal mengangkat Johor menjadi pusat perdagangan ekonomi unggul di rantau asia. Pembangunan JS-SEZ turut mendorong pertumbuhan ekosistem perniagaan, hartanah, pelancongan serta meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor. Ringkasnya pembangunan zon ini akan menyokong jumlah pelaburan asing khususnya dari Singapura terhadap FDI di Johor pada masa depan. Pada masa sama, Kempas berharap agar kerajaan dapat memastikan pelaburan yang masuk nanti hanya bukan pelaburan yang selamat, yang mesra alam dan dapat memanfaatkan rakyat negeri Johor. Seiring dengan dasar pelaburan negara yang
mendokong pertumbuhan ekonomi baru berteraskan teknologi tinggi, maka rakyat Johor tidak mahu pelaburan yang masuk nanti akhirnya menjadikan Johor sebagai dumping site, dengan izin, kepada industri yang memudaratkan dan tidak diterima oleh negara lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kewujudan JS-SEZ ini juga bakal menyaksikan peningkatan aliran rentas sempadan. Membabitkan pergerakan kargo dan rakyat kedua-dua negara menerusi pelaksanaan projek RTS Link selain penyusunan semula aliran trafik meningkatkan kecekapan di kaunter kastam dan imigresen serta penggunaan sistem canggih di ketiga-tiga premis itu. Kempas yakin ia akan dapat melancarkan lagi pergerakan rentas sempadan. Walau bagaimanapun, bagi meningkatkan lagi kelancaran trafik Johor-Singapura, Kempas ingin mencadangkan kepada kerajaan jika dapat dikaji penggunaan kaedah single border clearance di mana keadaan ini akan menjadikan mereka yang hendak memasuki kedua-dua negara sebelum ini berdepan dengan dua kali pemeriksaan imigresen dan kastam dirangkumkan menjadi satu kali sahaja iaitu mereka yang ingin ke Singapura hanya perlu melalui pemeriksaan di pintu masuk Singapura manakala yang ingin ke Malaysia hanya perlu melaui di pintu masuk Malaysia di Johor. Dengan langkah ini akan dapat memendekkan masa perjalanan mereka. Melalui cara ini ia mampu menyumbang kepada aliran rentas sempadan tambak Johor serta Link Kedua dengan lebih efisien. Sekaligus membina kelestarian dan kemudahan kepada pengunjung kedua-dua negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menyediakan keperluan pekerjaan mahir, bagi memenuhi keperluan pelabur yang akan melabur di kawasan JS-SEZ ini, Kempas ingin mengetahui sejauh mana kerajaan telah menyediakan keperluan pendidikan bagi memastikan rakyat Johor khususnya bersedia mengisi peluang pekerjaan mahir memandangkan teknologi begitu pantas dan pesat berubah. Khusus kemahiran vokasional serta pusat pengajian tinggi mestilah berupaya memenuhi permintaan tenaga kerja industri masa depan. Sekiranya persediaan kerajaan dalam menyediakan latihan vokasional diwujudkan ini akan dapat lebih meyakinkan para pelabur dalam membangunkan perniagaan mereka di Johor dan rakyat Johor sendiri yang akan mendapat manfaat darinya. Dan bukannya pekerja asing yang menjadi pilihan para pelabur.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas seterusnya ingin membawa perhatian berkaitan tempat yang masih memerlukan perhatian dan tindakan terutamanya di kawasan DUN Kempas. Kebelakangan ini kesesakan lalu lintas di laluan utama bahkan dijalan potong sekitar bandaraya Johor Bahru termasuk kawasan Kempas semakin buruk. Kempas melihat ianya berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya pertambahan kenderaan persendirian dan komersial seiring pembangunan pesat di Johor Bahru dan sekitarnya. Kempas memuji usaha kerajaan negeri bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas ini dengan mewujudkan inisiatif pengangkutan awam percuma kepada rakyat melalui bas muafakat yang mempunyai 72 laluan dengan peruntukan sebanyak RM28,700,000,000.00 pada tahun 2023. Malah kerajaan persekutan juga turut memperkenalkan myBAS dan turut menawarkan tambang percuma pada golongan OKU warga emas dan murid sekolah. Bagaimanapun, terdapat aduan yang menyatakan laluan bas muafakat ini tidak strategik dan tidak memenuhi keperluan pengguna. Justeru itu, Kempas memohon agar laporan dapat diberikan pada ADUN agar kami dapat sama-sama memberikan cadangan laluan yang lebih sesuai dan mencapai jumlah penggunaan yang optimum. Diharapkan juga pihak berkaitan dapat mengkaji semula laluan yang tidak strategik ini dan juga pilihan dilaluan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kehadiran pelbagai kenderaan berat pada waktu puncak pagi dan petang yang mengakibatkan pergerakan lalu lintas menjadi perlahan turut menjadi salah satu punca kesesakan lalu lintas. Oleh itu Kempas mencadangkan agar kerajaan mengkaji untuk mewujudkan jadual pergerakan khas terhadap kenderaan berat yang melalui jalan utama dan jalan lain yang telah pasti sesak ketika waktu puncak. Setidak-tidak ini boleh
dipertimbangkan, Kempas ingin mencadangkan waktu laluan ini adalah bermula dari jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi dan dari jam 5.00 petang hingga 7.00 petang pada hari bekerja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Kempas ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan persekutuan serta pihak PKPJ yang telah melaksanakan pelbagai kemudahan dan keperluan serta meningkatkan warga penduduk di PPR Kempas Permai. Antaranya adalah menggantikan 21 unit baru dan melaksanakan kerja berkaitan dengan kos RM10,300,000.00, selain itu, kerja-kerja mengecat sebanyak RM5,600,000.00 telah diperuntukkan penggantian paip bekalan air RM1,400,000.00, baik pulih loji rawatan kumbahan STP dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM3,000,000.00 malahan di PPR ini kerajaan juga turut menampung pembiayaan sewa rumah bagi keperluan asnaf sebanyak 63 keluarga dengan jumlah peruntukan RM94,000.00 setahun di bawah tajaan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kempas amat menyanjung tinggi di atas jasa ini dan mengucapkan terima kasih sekali lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun, Kempas ingin mengangkat permasalah yang masih belum selesai dan perlu diambil tindakan oleh pihak kerajaan. Pertamanya Kempas ingin bertanya apakah status cadangan pembinaan parking bertingkat yang telah dijanjikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke sana pada tahun lalu. Cadangan parking bertingkat ini adalah harapan besar penduduk di PPR Kempas Permai ini yang ingin melihat pembangunan ini terlaksana bagi memastikan masalah kekurangan tapak letak kenderaan dapat diselesaikan. Masalah ini telah membelenggu penduduk disini sekian lama. Manakan mungkin dengan hanya sebanyak 850 lot parking yang disediakan bagi menampung dengan jumlah rumah yang dibina sebanyak 2,252 unit. Menerusi Dewan yang mulia ini Kempas juga memohon kerajaan negeri melalui perumahan negeri Johor dalam menyelesaikan segera masalah projek baik pulih cerun yang melibatkan kos RM500,000.00 yang telahpun selesai tetapi telah runtuh semula. Saya mohon supaya pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera kerana hal ini perlu diberikan perhatian dengan serius kerana ia boleh mengundang masalah keselamatan nyawa penduduk di kawasan berkenaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga ingin tahu apakah status enterpreneur hub yang dibina pada tahun 2022? Melalui inisiatif IRDA yang bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat IKS Komuniti PPR Kempas Permai? Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.00 yang mana bangunan ini telahpun siap dibina, tetapi malangnya ia masih langsung tidak dapat digunakan kerana berlakunya kerosakan bumbung yang teruk dan kebocoran arus cetek membahayakan penduduk terutama di waktu musim hujan. Kempas berharap agar masalah ini diselesaikan segera supaya tidak menjadi suatu pembaziran dan perkara yang sia-sia yang akan dipetikkan oleh masyarakat di kemudian hari.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini PKPJ telah menjalankan program pemutihan PPR Kempas Permai. Melalui laporan yang diterima terdapat beberapa penyewa yang telah dikenal pasti telah menyewakan rumah mereka kepada penyewa lain untuk meraih keuntungan dengan menyewakan kepada pihak ketiga dengan sewaan yang lebih tinggi. Oleh itu Kempas menyokong tindakan tegas yang diambil bagi membenteras salah laku ini sehubungan itu Kempas ingin memohon agar pihak PKPJ dapat berkongsikan maklumat hasil proses pemutihan ini dan memohon agar kemasukan penyewa baru perumahan telah tersebut diberikan keutamaan kepada keluarga yang berkelayakan yang berasal di kawasan Kempas khususnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan permintaan rumah yang tinggi daripada golongan yang kurang berkemampuan, khususnya di kawasan Kempas, Kempas ingin mencadangkan kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan bagi pembinaan perumahan rakyat di tapak asal cadangan yang telahpun bertukar di Taman Mutiara Rini. Selain dapat
memenuhi keperluan penduduk yang memerlukan, ianya juga mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah perpindahan peduduk setinggan seperti di kawasan Permatang dan Kampung Sinaran di bawah Parlimen Pulai yang rata-ratanya sudah mendapat notis perintah keluar daripada pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga ingin menzahirkan kebimbangan atas kehadiran warga asing yang berniaga secara terang-terangan di pasar malam sekitar Johor Bahru. Hal ini turut berlaku di pasar malam Taman Anggerik Kempas. Keadaan mereka ini telah menimbulkan keresahan sekaligus mencetuskan tanda tanya kepada peniaga tempatan bagaimana peniaga ini kelihatan berani berniaga dengan alasan semata-mata kerana mereka memegang kad UNACR. Oleh itu, Kempas mahu supaya siasatan dan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tempatan ke atas mereka ini termasuk tindakan pada mana-mana pihak yang membantu mereka bertapak di situ. Gejala ini mesti dibanteras sebelum bilangan mereka semakin bertambah dan melarat ke tempat-tempat yang lain. Keadaan ini boleh mengundang pelbagai masalah sosial bukan sahaja kepada peniaga, bahkan pada masyarakat setempat. Tegasnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas tidak mahu mereka bertapak di satu tempat, kemudian membuat koloni dan seterusnya mendominasi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, umum mengetahui tahap perkhidmatan bekalan air di sesetengah tempat di negeri Johor akhir-akhir ini sangat tidak memuaskan. Di Dewan yang mulia ini Kempas menjunjung dan bersetuju titah ucapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengenai permasalah bekalan air tidak seharusnya berulang dan kerajaan perlu bertindak tegas menyelesaikannya. Di Kempas misalnya, khususnya di kawasan Taman Kempas dan Banjaran Kempas sering kali berlaku gangguan bekalan air tanpa notis. Dalam tempoh satu tahun ini sahaja sudah tiga kali gangguan bekalan air yang serius berlaku, yang menyebabkan bekalan air terputus sehingga menjangkau lima hari iaitu pada bulan Mei dan Oktober tahun 2023, selepas itu bulan Mac 2024. Bantuan bekalan air sementara pula agak lewat diberikan kepada penduduk sehingga ada situasi di mana penduduk tidak mendapat bekalan bantuan menjangkau dua hari sehinggakan pernah Pengerusi Blok Taman Desa Kempas dipersalahkan. Rumah beliau dilontarkan dengan najis walaupun pada hakikatnya ini bukanlah kesalahan beliau.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selalunya di antara alasan yang diberikan oleh pihak Ranhill SAJ, permasalahan ini berlaku adalah disebabkan oleh high demand dengan izin oleh pengguna domestik mahupun industri terutamanya pada hari perayaan. Tetapi apa terjadi di Kempas, ia berlaku pada hari biasa, bukannya berlaku di musim-musim perayaan. Justeru itu Kempas ingin mengetahui apakah perancangan pihak Ranhill SAJ dalam langkah menangani isu ini. Sekiranya masalah ini berkait dengan ketidakmampuan Ranhill SAJ mengalirkan air terawat, Kempas meminta kerajaan negeri segera campur tangan bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana air adalah keperluan asas bagi semua industri dan hidupan dan sememangnya masalah ini akan merencatkan usaha kerajaan dalam menarik pelabur masuk ke dalam negeri ini. Sehubungan itu, Kempas ingin mengingatkan supaya jaminan bekalan air kini dan masa depan tidak menjadi satu kegagalan yang akan menghalang pihak pelabur ke Johor. Senario ini boleh merencatkan prestasi sektor perindustrian dan pertumbuhan sosio ekonomi secara keseluruhan di negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menyusuri tahun 2024 dan tahun-tahun akan datang cabaran terhadap kestabilan, keselamatan dan pertumbuhan ekonomi adalah perkara yang amat merisaukan semua pihak termasuk kerajaan. Berada dalam teknologi digital dan ekonomi baharu, persaingan sengit mendapatkan sumber tenaga dan komoditi serta konflik merupakan cabaran besar dan menjadi toksik athmosphere kepada kita, ia merangkumi kedaulatan negara dan sempadan, selain keselamatan sosial, makanan serta kesihatan. Namun Kempas amat yakin di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar mampu meneruskan komitmen dan memberi fokus utama dalam menggembling kemampuan
sumber kepakaran sedia ada bagi merentas cabaran ini. Pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi adalah kunci kesejahteraan rakyat, serta kelestarian survival Johor, Insya-Allah. Atas kepentingan itu, marilah kita sama-sama mendukung kebersamaan, semangat dan tekad seterusnya menzahirkan impian besar selaku impian dalam mewujudkan masa hadapan Johor yang maju, makmur dan gemilang. Akhir kata, Kempas mengulangi keyakinan dan sokongan penuh terhadap segala inisiatif sama ada yang sedang dilaksanakan mahupun yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang mana ia pasti mampu membina kemakmuran pada segenap peringkat sekeluarga Bangsa Johor. Semoga Allah S.W.T. melimpahkan rahmatnya dan permudahkan urusan kita Insya Allah. Sekian wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kempas mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Kempas. Akhirnya, tidak kurang penting tapinya. Yang Berhormat Sedili dipersilakan.
Bismillahirrahmanirrahim. (Doa) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor dan Salam Untukmu Sedili. Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberikan kesempatan kepada Sedili untuk turut serta dalam perbahasan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada petang yang berbahagia ini. Sebelum memulakan perbahasan, patik ingin merafak sembah tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2024 yang lalu. Patik dan rakyat Tuanku di DUN Sedili sentiasa mendoakan semoga negera Malaysia yang amat kita cintai ini akan bertambah aman dan makmur di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Patik juga tidak lupa ingin merafak sembah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah berkenan berangkat ke Dewan yang mulia ini seterusnya bertitah merasmikan Pembukaan Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Bagi Kali Yang Ke-15.
Sesungguhnya Bangsa Johor sungguh beruntung kerana mendapat seorang Pemangku Sultan yang sangat prihatin dengan kebajikan dan nasib masa depan Bangsa Johor terutama dalam keadaan rakyat pada hari ini yang sedang bergelut dengan isu melibatkan kos sara hidup yang terus meningkat. Harga rumah yang semakin tidak munasabah, serta kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai hingga menyebabkan ramai yang terpaksa mengharungi kesesakan di Tambak Johor setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga masing-masing. Sasaran agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin selepas tahun 2025 atau dalam jangka masa 19 tahun yang akan datang, seperti yang telah dititahkan adalah cerminan betapa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sangat dekat dan begitu prihatin dengan kesusahan yang dirasai oleh sebahagian Bangsa Johor, khasnya yang di dalam kategori miskin tegar.
Disamping gesaan agar kerajaan negeri Johor meneruskan dan menambah baik program-program menyantuni rakyat yang telah sedia ada dan menambah lagi bantuan-bantuan sosial, pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan kesejahteraan sosial Bangsa Johor, Yang Amat Mulia Tunku Mahkota sebagai Pemangku Sultan Johor, juga tidak lupa dengan amat tegas mengingatkan kita agar sentiasa bekerja menuju sasaran, bersatu padu dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik untuk bersama-sama memerah perbezaan, memerah fikiran dan tenaga, membantu kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang kita semua kasihi. Mudah-mudahan dengan sokongan padu dan politik matang dari kedua pihak kerajaan dan pihak pengimbang seperti yang telah ditunjukkan sebelum ini, negeri Johor akan bertambah maju menuju sasaran Maju Johor pada tahun 2030.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili juga tidak lupa ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang kita kasihi, yang sangat jelas memiliki misi dan visi besar, komited maju pada tahun 2030. Visi dan misi untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 ternyata bukan sekadar retorik semata-mata, retorik politik semata-mata. Tetapi telah dibuktikan melalui perancangan yang begitu teliti dan tumbuh rapi sekali. Ujian yang telah diberikan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor kepada kerajaan Johor yang telah berjaya menjana pelaburan sebanyak RM113,700,000,000.00 dan mewujudkan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan baru sejak 2022 telah menjadikan Johor sebagai salah satu destinasi utama bagi pelaburan serta menyumbang kepada kedudukan Johor sebagai pengimport dan pengeksport terbesar Malaysia setakat Mac tahun ini. Adalah bukti kecemerlangan serta dedikasi kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang semestinya juga dengan bantuan seluruh EXCO Kerajaan Negeri Johor dan pegawai Kerajaan Negeri Johor. Setiap permasalahan yang timbul, yang boleh mengganggu setiap perancangan yang telah dibuat, beliau segera bingkas turun padang untuk melihat sendiri mencari jalan untuk mengatasinya. Ini termasuk sebagai contoh, lawatan mengejut beberapa kali ke CIQ sehingga menyebabkan pihak-pihak yang terlibat tidak senang duduk bagi, tidak senang duduk. Bagi saya, inilah susuk pimpinan muda yang sangat didambakan oleh Bangsa Johor untuk menyediakan seterusnya mambawa Johor menghadapi cabaran-cabaran menjadi negeri paling maju sosio ekonominya di Malaysia pada tahun-tahun mendatang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setelah beberapa hari Persidangan Dewan yang mulia ini, saya amat sungguh tertarik dengan jawapan-jawapan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kepada soalan-soalan yang berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ). Penerangan yang amat jelas berkenaan hala tuju dan status terkini kedua-dua zon khas yang telah dirancangkan ini kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sangat penting bagi memastikan rakyat Bangsa Johor di luar sana benar-benar memahami dan dapat bersiap sedia menyambut peluang ekonomi akan terlimpah apabila kedua-dua zon khas ini mula beroperasi nanti. Kefahaman dan pemahaman yang betul dan jelas juga diharapkan dapat mengelakkan Bangsa Johor sekali lagi dikelirukan dengan fitnah-fitnah dari pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang pernah berlaku terhadap pembangunan Forest City sebelum tahun 2018 yang lalu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun kedua-dua zon SEZ dan SFZ ini sekali lagi tidak melibatkan DUN Sedili. Hanya sampai ke Pengerang saja, Sedili tetap mendoakan, menyokong dan penuh percaya bahawa kedua-duanya SEZ dan SFZ ini akan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang baru negeri Johor seterusnya, mudah-mudahan akan melimpahkan kemakmurannya ke seluruh pelusuk negeri Johor untuk dinikmati bersama oleh seluruh Bangsa Johor yang kita semua kasihi, Insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin beralih kepada isu yang melibatkan DUN Sedili pula. Yang pertama adalah berkenaan dengan isu penempatan generasi kedua FELDA. Seperti yang kita semua sedia maklum dan telah menjadi dasar kerajaan negeri sebelum ini, bagi mengatasi masalah perumahan generasi kedua FELDA, tanah-tanah kosong yang terdapat di kawasan tanah Rancangan FELDA telah dibuka permohonan untuk dikurniakan lot-lot tapak rumah kepada generasi kedua. Alhamdulillah. Walaupun proses kurniaan ini terganggu beberapa kali kerana pertukaran kerajaan negeri selepas tahun 2018 dan juga pandemik COVID-19, namun sebahagian besarnya telah berjaya dikurniakan geran pemilikan. Namun apa yang ingin saya bawakan ke pengetahuan pihak kerajaan adalah ketika proses pemilihan dan tawaran kepada calon yang telah berjaya, terdapat sebilangan yang terpaksa menolak tawaran dengan alasan mereka tersendiri, termasuk diberhentikan kerja pada era COVID-19. Dengan itu, jawatankuasa kerja menguruskan proses pemilihan ini di setiap Rancangan FELDA telah bersetuju untuk membuka semula permohonan, membuat pemilihan semula, seterusnya menghantar permohonan bagi baki lot-lot yang telah ditolak
permohonan awal ke Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi. Namun sehingga kini status permohonan ini masih belum jelas lagi. Justeru itu, memohon agar kerajaan negeri dapat membantu melihatkan perkara ini dengan seberapa segera kerana telah tertangguh agak lama. Masalah ini telah memberi kesan iaitu melambatkan proses permohonan secara berkelompok kepada pihak Syarikat Perumahan Negera Berhad.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah ini melibatkan enam buah Rancangan FELDA yang ada di dalam DUN Sedili iaitu FELDA Bukit Waha, FELDA Bukit Easter, FELDA Simpang Waha, FELDA Bukit Aping Barat, FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Tenggaroh Selatan 1 serta tiga tanah Rancangan FELDA di dalam DUN Johor Lama iaitu FELDA Lok Heng Barat, FELDA Lok Heng Timur dan juga FELDA Lok Heng Selatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kedua yang ingin saya bawakan adalah berkenaan permasalahan yang sekian lama dihadapi oleh nelayan-nelayan di DUN Sedili iaitu keadaan muara Kuala Sedili yang semakin cetek dan tohor yang bukan sahaja menyukarkan malah membahayakan bot-bot nelayan, khasnya bot-bot besar. Nelayan terpaksa menunggu air pasang untuk keluar masuk ke jeti dan seringkali terpaksa menunggu di laut untuk mendaratkan hasil tangkapan. Mereka terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkan kerugian sekiranya bot mereka akan rosak kerana melanggar beting-beting yang terdapat di sana ketika air surut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah meneliti dengan rapat tentang permasalahan yang dihadapi oleh nelayan-nelayan ini. Saya dapati permasalahan ini telah berlaku agak lama. Permasalahan ini juga telah dibawa setiap tahun oleh Ahli Yang Berhormat DUN Sedili sebelum ini, saya juga sendiri telah membawa perkara ini di dalam perbahasan Bajet 2 tahun yang lalu. Namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap permasalahan yang dibangkitkan ini. Carian saya di website Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) juga mendapati isu ini tidak pernah termasuk di dalam senarai atau tidak pernah mendapat perhatian dalam Program Pemulihan Muara Sungai yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutan selama ini. Justeru pada hari ini, saya amat berbesar hati untuk menjemput Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor, Yang Berhormat EXCO yang terlibat serta ketua-ketua jabatan yang berkenaan untuk melawat ke lokasi yang saya sebutkan tadi untuk memahami dan merasai sendiri kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh nelayan-nelayan Sedili selama ini, agar satu tindakan yang komprehensif dan tuntas dapat diambil bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi isu penting yang saya bawa sekali lagi ke dalam Dewan yang mulia ini adalah berkaitan isu bekalan air. Isu bekalan air ini adalah satu keresahan sekian lama penduduk di dalam DUN Sedili khasnya penduduk di gugusan FELDA Lok Heng, Waha, Easter, kampung-kampung tradisi dan telah menjadi salah satu isu utama dalam pilihan raya negeri yang lalu. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kempen PRN Johor juga telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM41,000,000.00 untuk membuat laluan paip baharu dari persimpangan Batu 9, Mawai, untuk disalurkan ke Loji Rawatan Air Bersih di Kampung Sungai Gembut. Namun sehingga kini saya masih belum nampak sebarang kerja-kerja berkaitan dilaksanakan di lokasi yang tersebut. Justeru saya mohon, pihak-pihak yang berkenaan dengan isu ini agar dapat melihat semula dan memberi status terkini berkenaan dengan perkara ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi isu yang viral dan semakin menjadi-jadi di Kota Tinggi ketika ini khasnya di DUN Sedili adalah gangguan haiwan liar, iaitu gajah liar yang masuk bukan sahaja ke kawasan pertanian, memusnahkan kebun-kebun tanaman, tetapi juga telah membimbangkan lagi kini telah menceroboh ke kawasan perumahan seperti yang berlaku di Simpang Perani, Mawai, Aping Barat dan lain-lain kampung. Ini telah menimbulkan
ketakutan setiap hari kepada penduduk khasnya apabila menjelang waktu malam kerana ianya melibatkan keselamatan kepada penduduk-penduduk di kawasan yang terlibat. Masalah ini perlu ditangani dengan segera oleh pihak kerajaan khasnya pihak PERHILITAN sebelum berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. Walaupun ketua kumpulan gajah ini telah dibawa keluar oleh PERHILITAN ke Kuala Gandah Pahang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini saya ingin membawa suatu contoh peristiwa yang amat menyedihkan berkaitan dengan gangguan gajah liar, yang telah berlaku kepada seorang penduduk Kampung Sayang, dalam DUN Sedili. Saudara Pekan bin Ramli, seorang kelainan upaya, seorang yang saya kenal sangat rajin berusaha menyara keluarganya, melakukan pelbagai pekerjaan, walaupun hanya dengan sebelah kaki. Apa saja kerja mampu beliau lakukan sama seperti kita yang memiliki dua kaki. Beliau memiliki sebidang tanah seluas satu ekar lebih dan dengan bantuan dari RISDA, beliau dengan usaha, kesungguhan dan kerajinannya telah mengerjakan tanahnya itu dengan menanam pokok getah dan tanaman kontan sementara menunggu pokok getah ini membesar. Dengan harapan dapat menjadi satu lagi punca pendapatan untuk keluarganya menguruskan permasalahan..
Nampak tak tu?
Untuk keluarganya pada masa depan. Namun, kerana kelambatan pihak yang terlibat menguruskan permasalahan gangguan gajah liar ini.
Sedili, bila saya cakap duduk, duduk kejap, bawa bertenang duduk kejap. Ah duduk, duduk, duduk, duduk. Teks tu letak dekat atas rehal. Ah ya. (Dewan bertepuk).
Namun kerana kelambatan pihak yang terlibat menguruskan permasalahan gangguan gajah liar ini. Tanaman getah saudara Pekan Ramli telah diserang gajah liar baru-baru ini. Impian Saudara Pekan Ramli sekeluarga musnah kerana, bersama kemusnahan kerana anak-anak pokok getah yang telah dimusnahkan oleh gajah-gajah liar itu. Berlinangan airmata kesedihan keluarga ini suami isteri ketika menceritakan kejadian kepada saya baru-baru ini. Justeru Yang Berhormat Datuk Speaker, sekiranya permasalahan gajah liar ini tidak diambil tindakan yang segera, saya khuatir kisah sedih yang dialami oleh keluarga saudara Pekan Ramli ini akan juga boleh menimpa lebih ramai keluarga yang lain. Saya memohon agar perkara ini mendapat perhatian utama khasnya kepada Yang Berhormat EXCO yang menjaga gajah-gajah dan hidupan liar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Insya-Allah seperti pembentangan bajet kerajaan Malaysia pada penghujung tahun yang lalu telah dimasukkan satu projek yang agak besar di kawasan Sedili. Pembinaan Hospital Pengajar USIM dengan kos fasa pertama sebanyak RM938,000,000.00. Selaku Wakil Rakyat di kawasan tersebut, saya ingin menanyakan kerajaan negeri apakah perancangan untuk menambah baik utiliti penting seperti air, api, komunikasi serta jalan perhubungan sekiranya projek ini dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh empat ke lima tahun yang akan datang. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohamad Khaled Nordin atas peruntukan besar di bawa ke Sedili pada tahun lepas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir adalah berkenaan kebajikan para imam masjid. Tetapi sebelum itu, saya ingin menyampaikan khabar gembira berkenaan penerimaan yang sangat positif masyarakat terhadap Program Semarak Subuh yang telah dilaksanakan setiap Subuh Jumaat di masjid-masjid dan surau yang telah terpilih di setiap DUN termasuklah di DUN Sedili. Rata-rata masyarakat termasuk golongan agamawan, para ustaz-ustaz, walaupun kita tahu ada kalangan mereka yang berbeza fahaman politik tetapi mereka berani menyampaikan pandangan secara terbuka dan sangat menyokong malah menggalakkan masyarakat supaya turut menyambut dan menyokong inisiatif yang telah dibawa oleh Yang
Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita. Mereka terkesima, tidak terkata apabila kerajaan Johor mengambil langkah yang tidak pernah terfikir dengan melaksanakan Program Semarak Subuh ini. Memandangkan sambutan yang sangat positif ini, sama seperti rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang telah membawa perkara ini, saya juga bersetuju jika peruntukan untuk program ini ditambah dalam bajet yang akan datang walaupun setakat ini saya juga banyak menambah program tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berbalik kepada isu kebajikan kepada imam-imam masjid, walaupun imam belum dilihat sebagai kerjaya profesional, tetapi tanggungjawab dan bidang tugasnya yang lebih mencabar berbanding profesion lain, malah mereka pada masa kini bukan lagi sekadar mengimamkan solat... Tugas sebagai imam tidak hanya terbabit dalam hal ehwal agama di masjid atau surau. Bahkan menjadi orang penting dalam pentadbiran dan pengurusan daripada orang hidup hingga mereka yang sudah meninggal dunia. Profesion imam juga seperti doktor dipanggil pada waktu kecemasan. Kerjaya ini bekerja tanpa mengira siang dan malam, bahkan mengorbankan waktu rehat pada waktu malam bagi menguruskan dan mensolatkan jenazah. Profesion sebagai imam mungkin dilihat bukan kerjaya yang dicita-citakan generasi muda, tetapi skop kerjanya yang membawa mereka untuk membina hubungan sesama manusia dan lebih mulia di sisi Allah S.W.T.
Setiap Imam Tetap masjid juga terikat dengan syarat-syarat ketat selain kelayakan yang ditetapkan, Imam Tetap juga mesti bertugas sepenuh masa dan tidak boleh membuat kerja-kerja sampingan kerana dikhuatiri menganggu tugas dan fungsi sebagai imam masjid. Bersesuaian dengan tugas dan tanggung jawab yang dipikul oleh para imam masjid ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan agar elaun imam ditingkatkan selaras dengan dasar gaji minimum yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu sebanyak RM1,500.00 sebulan. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, pada ketika ini setiap masjid layak mendaftarkan dua orang imam dan seorang bilal yang akan dibayar elaunnya oleh pihak JAKIM sebanyak RM850.00 bagi seorang imam dan RM450.00 bagi seorang bilal. Jumlah ini amat rendah berbanding dengan dasar gaji minimum. Kebiasaannya pihak masjid akan menambahkan elaun imam dan bilal mengikut kemampuan pendapatan masjid daripada sumbangan orang ramai. Namun bagi masjid-masjid di kawasan FELDA dan kawasan kampung-kampung tradisional yang mana pendapatan daripada sumbangan ahli kariah tidaklah seberapa maka tambahan elaun kepada imam dan bilal juga amat terhad. Saya memohon perkara ini, agar mendapat perhatian daripada pihak EXCO Agama untuk diperhalusi lagi di peringkat kerajaan negeri yang mungkin boleh menambahkan peruntukan yang elaun sedia ada daripada pihak JAKIM menjadi selaras dengan dasar gaji minimum.
Akhir sekali, sebelum menutup perbahasan, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor di atas peruntukan-peruntukan khas yang telah diberikan kepada saya tahun lalu kepada DUN Sedili dan mengikut gerak hati saya hari ini, saya amat yakin Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar akan berbesar hati untuk menambahkan lagi peruntukan yang lebih besar kepada DUN Sedili untuk tahun ini.
Akhirnya…
Belum lagi. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih juga saya ingin ucapkan kepada barisan EXCO Kerajaan Negeri yang sentiasa komited melaksanakan tugas portfolio masing-masing, juga kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Azmi Rohani, selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pegawai Daerah Kota Tinggi serta ketua-ketua jabatan di peringkat negeri dan persekutuan. Alhamdulillah, sentiasa membantu Sedili di dalam menangani segala isu-isu rakyat yang berbangkit di DUN Sedili sepanjang dua tahun ini. Saya sebagai Wakil
Rakyat sambil berharap semoga kerjasama yang erat ini dapat diteruskan demi manfaat seluruh rakyat Bangsa Johor di DUN Sedili. Tidak lupa juga kepada abang saya Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, Ahli Parlimen Kota Tinggi merakap Kementerian Pertahanan Malaysia yang sentiasa membimbing, memberi tunjuk ajar di atas pengalaman beliau dan mendengar keluhan kekurangan peruntukan yang diperlukan, terima kasih segalanya. Kesan kami di Sedili dan Kota Tinggi, apakah yang akan dibawa oleh beliau Kota Tinggi lagi selepas ini. Semoga beliau sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa diberkati usaha beliau untuk rakyat Kota Tinggi, khasnya.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Belia...
Berapa banyak kesempatanlah…
…untuk mengucapkan Selamat Hari Belia kepada belia-belia yang mana saya juga lahir dari kepimpinan belia dan juga Selamat Hari Guru pada hari esok kepada guru-guru yang ada di Sedili khususnya. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, Sekian, Wabillahi Taufik Wal hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Warabarakatuh. Sedili mohon menyokong.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sesi yang lain kita cadangkan yang lain Sedili dia berucap sebelah pagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulilah hari ini kita telah pun menamatkan 43 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para Ahli-Ahli Yang Berhormat yang terlibat yang telah membawa mutu perbahasan yang lebih baik. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah pun menunggu hingga tamat persidangan ini. Saya juga mengambil kesempatan juga mengucapkan para ketua jabatan dan para pegawainya yang setia menunggu walaupun ianya telah melebihi pukul 5:00 petang. Ini adalah penting kerana ada kemungkinan, ada perkara-perkara yang melibatkan jabatan yang terlibat dibawa oleh pembahas-pembahas yang terkemudian makanya ia tidak akan ada yang tertinggal. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya mari kita meraikan kejayaan kita untuk berada di Dewan hingga pukul 5:39 petang ini. (Dewan bertepuk). Ahli-Ahli Yang Berhormat, esok kita akan mendengar penggulungan daripada Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa dan seterusnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada hari Ahad. Justeru saya, mengharapkan sokongan dan juga kerjasama daripada semua pihak. Kita yakin kita boleh melakukannya masa kalau kita gunakan sebaik-baiknya insya-Allah akan tetap mencukupi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok 16 Mei 2024 jam 9:30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5:40 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman
Koordinator
Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Pembantu Penerbitan
Puan Malina binti Mohd Nasir Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said (K) Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Norhafizah binti Osman Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Fakhrinnazia binti Fuad Puan Nor Wahidah binti Elias Puan Raihanah binti Ismail
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 15 Mei 2024
VERBATIM