Johor · 16 May 2024

3rd session, 1st meeting · 148 turns · 38,612 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor dan Selamat Menyambut Hari Guru.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada hari ini saya ingin merujuk kepada Peraturan Mesyuarat Perkara 25(2)(c) dan juga Perkara 26(2) dan juga Perkara 26(5) mengenai dengan pertanyaan lisan. Oleh itu mulai hari ini, saya tidak lagi akan membenarkan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam soalan tambahan bertanya lebih daripada satu soalan. Sebab saya dapati masih ada di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat bila bertanya soalan tambahan, sampai 3 soalan tambahan pulak ya. Dan ada huraian, huraian pun saya tak benarkan. Tanya terus soalan, apa nak ditanya. Tak perlu huraian contoh dan sebagainya. Dan ini penting sebab saya dapati ada di kalangan Ahli Yang Berhormat hingga ke hari ini macam tak ada giliran lagi bertanya soalan. Jadi sebab itu, bila saya perhatikan ada soalan-soalan yang saya rasa penting tapi dia di belakang. Maka tak dapat dijawab dan rakyat tidak mengetahui maklumat-maklumat baru kerana soalan itu tidak dapat dijawab kecuali media kalau dia rajin dia tengok jawapan bertulis ya, maka dia akan mengedarnya.

Maka sebab itu pada saya, kita tidak dapat merakyatkan Dewan Undangan Negeri. Sebab itu soalan kena direct, tanya apa yang nak ditanya. Nak tanya, betul ke kamu isteri 2? Tanya macam tu direct je. Tak payah, oh saya semalam nampak kamu berjalan dengan seorang wanita, kamu mendokong anak di Paradigm Mall. Lusanya saya jumpa lagi kamu dengan seorang perempuan mengandung, berpegang tangan di JPO. Betul ke kamu isteri 2? Tak payah explain benda tu. Tanya je direct. Betul ke kamu isteri 2? Dan tunggu jawapan dia. Yang nak menjawab pun, jawab ringkas ajelah... betul. Tak payahlah nak jawab, saya isteri pertama dah tak syok sebab itu kena cari isteri kedua dan betullah saya isteri 2. Tak perlu nak explain semua tu.

Jadi Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya berharap ya kerana ini peraturan mesyuarat ya. Tak perlu huraian, bila bertanya soalan tambahan dan jangan tanya lebih daripada satu soalan dalam soalan tambahan. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Panti.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.

Mohon nyatakan pelaburan baru dari dalam dan luar negara di Negeri Johor pada tahun 2023 hingga kini.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Salam sejahtera, salam Maju Johor. Berkaitan dengan statistik pelaburan

dalam dan luar negara di Negeri Johor pada tahun 2023, mengikut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia ataupun MIDA, Johor telah pun mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM43,056,000,000.00 di mana pelaburan asing langsung ataupun FDI adalah 31.002 bilion (72%), manakala pelaburan domestik langsung DDI adalah 12.054 bilion iaitu 28%.

Sebanyak 751 projek pelaburan telahpun diluluskan yang dapat mewujudkan 19,053 peluang pekerjaan. Daripada jumlah 43.056 bilion tersebut, sektor perkilangan telahpun menyumbang 14.61 bilion ataupun 33.95%. FDI bagi sektor perkilangan adalah 9.434 bilion ataupun 64.54% di mana sumber utama pelaburan asing adalah Singapura, Taipei dan Amerika Syarikat. Jumlah DDI sektor perkilangan adalah 5.183 bilion ataupun 35.46%. Subsektor utama sektor perkilangan bagi tahun 2023 adalah elektrikal dan elektronik, 37 projek yang menyumbang 4.580 bilion, jentera dan peralatan 18 projek, 2.464 bilion serta kimia dan produk kimia 22 projek yang menyumbang RM1,614,000,000.00.

Sektor perkhidmatan telah menyumbang 28.435 bilion bagi tahun 2023. FDI bagi sektor perkhidmatan adalah RM21,568,000,000.00 ataupun 75.85%, di mana sumber utama pelaburan asing adalah sekali lagi Singapura dan kemudian China dan Korea Selatan. Jumlah DDI sektor perkhidmatan adalah 6.867 bilion ataupun 24.15%. Perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meliputi pusat data perkhidmatan perkongsian awam, reka bentuk persisiran dan sistem serta kandungan kreatif tadi itu merupakan satu subsektor penyumbang utama bagi sektor perkhidmatan.

Bagi statistik suku pertama tahun 2024, pengumuman akan dibuat oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Namun, kerajaan negeri optimis dengan perkembangan sektor pelaburan dan menjangkakan prestasi yang lebih baik berbanding tahun 2023. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya sila Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO atas jawapan. Saya nak tanya tentang apa program khas untuk bawa pelaburan khususnya ke luar bandar. Jika tidak wujud lagi program seperti itu, adakah kerajaan negeri bersetuju untuk melihat kepentingan mewujudkan program seperti ini. Yang memberi insentif ataupun apa tawaran-tawaran yang menarik untuk pastikan pelabur datang ke luar bandar khususnya seperti di kawasan Panti. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih soalan tambahan daripada Panti. Berkaitan dengan insentif khas untuk menarik pelaburan ke kawasan luar bandar. Setakat ini kerajaan negeri Johor mahupun kerajaan persekutuan, kita tiada satu insentif khas untuk menarik pelaburan ke kawasan luar bandar.

Namun bagi negeri Johor, melalui kerjasama dengan pihak Johor Corporation iaitu anak syarikat kerajaan negeri Johor, kita ada usahakan untuk kawasan-kawasan luar bandar sebagai contoh di kawasan di daerah Kota Tinggi, baru-baru ini Johor Corporation telahpun adakan kerjasama dengan satu syarikat gergasi dari Jepun iaitu untuk mewujudkan satu kilang ataupun fasiliti penapisan minyak sawit canggih di kawasan tersebut yang melibatkan pelaburan daripada pihak Johor Corporation.

Sama juga di kawasan-kawasan lain, kerajaan negeri Johor akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Johor Corporation untuk melihat di kawasan mana yang di mana kerajaan

negeri boleh membuat pelaburan strategik, yang bukan fokus kepada untuk mendapat pulangan modal sahaja. Dan harap-harap dengan ada usaha sebegini, maka kita dapat menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan luar bandar. Terima kasih.

Speaker

Ya sila Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya Mengkibol ada soalan yang agak serupa. Cuma, tambahannya ialah berapakah peluang pekerjaan dicipta pada tahun 2023 dan suku pertama 2024 dari pelaburan asing? Sekian, terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol. Khas untuk pelaburan langsung asing, untuk tahun 2023 jumlah pekerjaan yang dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan FDI adalah sebanyak 13,611 untuk sektor perkilangan. Maka manakala untuk sektor perkhidmatan, ia dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 6,700. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Kahang.

Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan saya ialah Yang Amat Berhormat EXCO menyatakan pelaburan berbilion ringgit tadi, adakah komitmen ini sekadar on paper sahaja ataupun pelaburan telahpun dimulakan di Johor ini?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Kahang. Untuk tahun 2023, memang benar untuk tujuan statistik kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, kita mencatatkan pelaburan melalui pelaburan komited di mana apabila sesuatu lesen pengilangan dikeluarkan, maka kita akan merekodkan pelaburan tersebut sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

Namun pihak MIDA dengan kerjasama kerajaan negeri, ada satu sistem yang dipanggil sistem on track yang mana kerajaan akan sentiasa pantau progress pelaburan tersebut. Dan untuk maklumat Yang Berhormat Kahang juga di negeri Johor lebih daripada 90% projek pelaburan telah pun berjaya dilaksanakan di pelbagai peringkat. Maka untuk statistik terperinci, saya akan dapat dibekalkan sekiranya diperlukan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.

Di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim terdapat modul Keluarga Sakinah yang sekian lama diperkenalkan dalam masyarakat. Sejauh manakah keberkesanan Modul Keluarga Sakinah yang diperkenalkan dalam mencegah penderaan kanak-kanak dan apakah program di bawah modul tersebut?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Penawar. Terima kasih Datuk Speaker. Soalan yang diajukan kepada saya adalah di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, terdapat Modul Keluarga Sakinah yang sekian lama diperkenalkan dalam masyarakat. Sejauh manakah keberkesanan Modul

Keluarga Sakinah tersebut dalam mencegah penderaan kanak-kanak dan apakah program-program di bawah modul tersebut?

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim bersama Jabatan Mufti Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Johor telah membangunkan satu Modul Keluarga Sakinah pada tahun 1998 dan mengandungi 9 modul. Bermula modul 2, persediaan keibubapaan hingga modul 10, khusnul khotimah. MKS ini merupakan modul keibubapaan yang berteraskan panduan daripada Al-Quran dan Sunnah yang bertujuan untuk memberikan panduan dan maklumat lengkap kepada semua lapisan masyarakat dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang berlandaskan agama Islam sebenarnya.

Modul ini bertujuan menjelaskan tentang pentingnya peranan keluarga sebagai satu unit kecil dalam masyarakat untuk membentuk persekitaran yang paling selesa dalam pembentukan sebuah masyarakat dan negara sejahtera. Antara tujuan pelaksanaan MKS ini adalah untuk, pertama, meningkatkan kefahaman dalam rumah tangga berlandaskan ketenangan, kecintaan dan kasih sayang. Memberikan ilmu kemahiran dan pengetahuan yang menjadi asas dalam kehidupan berlandaskan ajaran al-Quran dan Sunnah.

Yang Berhormat Datuk Speaker setiap modul ini mempunyai misi, visi dan objektif dalam pelaksanaannya. Supaya ianya menjadi lebih berfokus kepada golongan sasar dan mencapai matlamat pembangunan modul ini. Sebagai contoh modul tiga, empat, lima dan enam adalah modul yang dikhususkan kepada ibubapa dalam asuhan, bimbingan dan pendidikan anak-anak sejak dalam kandungan sehingga usia akil baligh sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam. Pelaksanaan MKS adalah di bawah tanggungjawab Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim yang telah melaksanakan dalam pelbagai kaedah penyampaian. Selain disampaikan melalui modul ceramah, modul ini juga disampaikan dalam bentuk program atau aktiviti mengikut kumpulan sasar, selain melaksanakan program-program pengamalan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, secara keseluruhannya program ini adalah satu program sangat baik terutamanya dalam usaha mengukuhkan institusi keluarga dan menangani gejala sosial di negeri Johor termasuk isu-isu penderaan kanak-kanak. YPKDT sentiasa berusaha untuk menyampaikan Modul Keluarga Sakinah ini kepada seluruh insan masyarakat negeri Johor melalui pelbagai pendekatan untuk menjaga keharmonian dan mengukuhkan institusi keluarga, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Yang Berhormat, kena ada modul mengenai dengan cyber security ya. Cyber security sebab ibu bapa kena tahu takut anak-anak dia nanti yang memang sekarang ini ada kemudahan handphone terlibat dengan judi online dan sebagainya. Jadi mereka kena tahu skill mengawal anak-anak yang menggunakan handphone. So, saya dapati sekarang ini modul-modul seperti ni macam tidak banyak. Dijemput Yang Berhormat Sedili. Penawar nak ada soalan tambahan, sila.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya, apakah antara pengisian dan aktiviti yang dijalankan oleh Modul Keluarga Sakinah seperti yang disebutkan Yang Berhormat sebentar tadi, terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, modul ini dibangunkan dengan meliputi seluruh golongan sasar bermula daripada persediaan keibubapaan sehinggalah kematian husnul khotimah. Antara kandungan Modul Keluarga Sakinah ini adalah pertama, Modul

Keibubapaan, Pra Keibubapaan, Asuhan, Bimbingan dan Pendidikan Anak Mumayyiz, lahir sehingga 7 tahun, asuhan, bimbingan pendidikan bayi, alam remaja, alam dewasa, alam matang, alam usia dan alam husnul khotimah. Modul ini turut disampaikan melalui pelbagai pendekatan dan mengikut golongan sasar. Pertama, pengamalan di hospital, azan, iqamah dan tahnik khusus kepada bayi dan ibubapa bayi. Kedua, pengamalan Sakinah dalam aqiqah berkelompok, penyerahan taklif al-Quran, khatan beramai-ramai. Sasarannya adalah ibubapa yang baru mendapat cahaya mata, pelajar sekolah dan remaja. Program-program Sakinah lain seperti Program Sakinah Remaja Sakinah, Mesra Sakinah, Sehari Bersama Keluarga, Nostalgia Perkahwinan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil berat dan mengambil maklum kepada Yang Berhormat Datuk Speaker maklum tadi tentang makluman cyber. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Skudai.

Terima kasih Datuk Speaker, kalau untuk muslim kita ada Modul Keluarga Sakinah dan kalau untuk non muslim kita ada Modul Keluarga Sejahtera. Jadi saya nak tahu sama ada apa tu sejauh mana keberkesanan dua-dua modul ini untuk diterima mereka di luar sana, sekian terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Skudai. Untuk yang bukan beragama Islam satu Modul Keluarga Sejahtera di negeri Johor telah dibangunkan dengan tujuan dan matlamat memartabatkan institusi keluarga di negeri Johor khususnya di kalangan keluarga bukan Islam. Modul ini Yang Berhormat Datuk Speaker mengandungi empat bahagian utama iaitu bahagian pertama, Gerbang Cinta namanya, fasa pra perkahwinan, bahagian kedua fasa awal perkahwinan serasi bersama, bahagian ketiga fasa pra kematangan sehati sejiwa, bahagian keempat fasa kematangan semarak kasih.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini telah dibangunkan pada tahun 2019 dengan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia dan terbehenti sebentar kerana tidak dapat disampaikan secara luasan kepada masyarakat. Menjawab kepada soalan kepada Yang Berhormat Skudai, saya sangat mengambil berat tentang persoalan Skudai dan saya akan sampaikan perkara ini kepada jabatan berkaitan dan akan ditambahbaikan semula, Insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Yang Berhormat, cabaran media sosial sekarang ini ialah antaranya kita gunakan handphone untuk jemput kawan-kawan buat reunion lama tak jumpakan. Tapi bila berjumpa masing-masing sibuk main handphone, tak bercakap, tak berbual pun. Jadi apa guna reunion tu semua, ha itu bahayanya handphone sekarang ini. Jumpa tak berbual pun, masing-masing tengok handphone masing-masing ya, sama juga kita bawa family makan, kononnya untuk memperkukuhkan apa ini semangat kekeluargaan, tapi bila sampat kat restoran masing-masing tengok handphone masing-masing.

Dijemput, sebelum itu Yang Berhormat ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 44 orang daripada Pejabat ADUN kawasan Bukit Pasir 44 orang, ramai, semalam pun 40 orang juga, sebelum itu 40 orang juga daripada kawasan Bukit Pasir, 6 orang daripada Pejabat ADUN kawasan Yong Peng, 12 orang daripada Pejabat ADUN kawasan Layang-Layang, ini YB Mutalib ni ya, ada bawa ubi kayu ke? 10 orang daripada Lembaga Pertubuhan Peladang negeri Johor dan 4 orang daripada MCMC, tahniah. Mujur Sedili soalan naik hari ini. Dijemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 3.

Isu kehidupan haiwan liar (gajah) semakin menjadi-jadi sehingga berada dalam kawasan penempatan penduduk dan memusnahkan harta benda serta tanaman. Mohon perkongsian apakah gerak kerja yang telah diambil dan cadangan langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan oleh penduduk semasa serangan gajah?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor kepada seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada YB Sedili tapi sebelum mulakan jawapan saya pada hari ini izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun kepada cikgu-cikgu, Kembang berseri berbunga kisah, tinggi melangit terumput gajah, warga pendidik berjiwa besar, mesra berkawan rajin mengajar, Selamat Hari Guru. (Dewan bertepuk). Untuk makluman Yang Berhormat kerajaan negeri melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, PERHILITAN Semenanjung Malaysia mengambil berat ke atas masalah hidupan liar terutamanya konflik manusia – gajah atau Human Elephant Conflict sering membuat kacau ganggu tanaman penduduk yang berhampiran dengan habitat hidupan liar. Aduan ancaman sepsis gajah telah direkodkan sebanyak 155 seluruh negeri Johor pada tahun 2023 dan 41 aduan bagi Januari hingga Mac 2024 dan manakala aduan di kawasan DUN Sedili adalah sebanyak enam yang telah direkodkan secara rasmi pada tahun 2024.

Dalam menangani konflik hidupan liar ini Jabatan PERHILITAN telah menjalankan pelbagai usaha metigasi bagi mengatasi dan mengurangkan jumlah aduan daripada orang ramai yang diterima setiap hari dengan kaedah-kaedah seperti pemantauan, pengurusan, populasi secara terancang, tembak, halau, tangkap, pindah dan pembinaan sistem pagar elektrik gajah. Langkah-langkah dan gerak kerja yang diambil oleh pihak jabatan mengambil kira pelbagai faktor dan keperluan orang ramai yang pelbagai, bagi tujuan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang.

Kerajaan melalui Jabatan PERHILITAN akan menjalankan tindakan mitigasi seperti rondaan dan kawalan serta tangkap pindah sebagai tindakan jangka pendek dan segera. Manakala bagi tindakan jangka sederhana, Jabatan PERHILITAN mencadangkan membina sistem pagar elektrik gajah di lokasi gangguan. Bagi tindakan jangka panjang pula, Jabatan PERHILITAN sedang membangunkan kawasan makanan gajah atau elephant food bank di koridor mustahak supaya kumpulan gajah akan tertumpu di situ. Selain itu pada tahun 2024 kerajaan persekutuan telah memperkenalkan inisiatif bantuan kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar BKHT secara One-Off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar. Namun begitu permohonan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. Antara langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh penduduk semasa serangan gajah adalah jangan menghampiri gajah, tidak melakukan sebarang provokasi, ini penting saya kena ulangkan semula, ingatkan Yang Berhormat di sebelah sini atau pun di sebelah sana, jangan lakukan provokasi, itu satu tindakan yang bahaya, kurangkan bunyi bising, beredar segera dari kawasan tersebut dan tidak mengambil tindakan sendiri dan segera melaporkan serangan gajah ke Pejabat PERHILITAN Daerah dengan kadar segera. Saya mengakhiri ucapan jawapan saya dengan serangkap pantun juga. Burung berapi tepi telaga, bunga raya kelopak lima, hidupan liar aset berharga, padu tenaga jaga bersama. Sekian terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat, tema Hari Guru kali ini ialah Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani. Terima kasih cikgu. Ya sila Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bangun untuk bertanya berkaitan dengan haiwan liar ini oleh kerana gajah ni antara haiwan liar yang sering masuk ke kawasan-kawasan kebun, terutamanya di dalam kawasan-kawasan FELDA. Saya nak tanya dengan kerajaan negeri Johor, adakah kerajaan menyediakan pampasan kepada mereka-mereka yang terlibat dengan kemusnahan terutamanya kebun-kebun mereka dan adakah kerajaan bersama dengan PERHILITAN, mungkin memberikan latihan kesukarelawan kepada penduduk-penduduk yang biasanya terlibat dengan serangan gajah ini, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Ok terima kasih, soalan tambahan daripada YB ....

Speaker

Pemanis.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Pemanis, minta maaf. Bagi soalan tambahannya sehingga setakat ini kerajaan negeri tidak menawarkan apa-apa bantuan atau pun bantuan kerugian seperti jawapan saya tadi, bagi kerajaan pusat telah mengadakan inisiatif bantuan kerugian tersebut tetapi perlu permohonannya perlu melalui PERHILITAN Daerah dan jumlah peruntukan yang telah diperuntukan adalah RM10,000,000.00 dan bagi kawasan-kawasan yang sering berlaku konflik di antara hidupan liar dan juga manusia, PERHILITAN akan mengadakan sesi bantuan atau pun sesi memberi konsultasi kepada mereka yang perlu bantuan daripada agensi PERHILITAN, sekian terima kasih.

Speaker

Dia bab pampasan ini YB Sedili pun boleh bayar sendiri. Ya Panti sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih Yang Berhormat EXCO. Isu gajah ini di kawasan Kota Tinggi memang selalu berlaku dan untuk pengetahuan sejak semalam sampai hari ini sampai sekarang ini pun ada sekumpulan gajah masih di dalam kampung, satu kampung di kawasan Panti iaitu Kampung Lukut. Dan kalau saya tengok apa lihat dengar jawapan YB EXCO tadi ada berbagai usaha seperti tangkap, tapi saya dah banyak kali request untuk tangkap tapi tak tangkap-tangkap. Yang kedua pasal pagar letrik, sejak 2019.

Speaker

Satu soalan saya Yang Berhormat.

Saya nak bagi senario jawapan yang..

Speaker

Tak ada huraian, tanya soalan.

Saya nak, kita ada mesyuarat di peringkat daerah antara isu yang kekangan untuk isu gajah ini adalah berkaitan dengan kos. Saya nak tanya kerajaan, sama ada bersetuju tak untuk wujudkan satu sektariat khas di peringkat negeri kita kumpulkan agensi-agensi yang berkaitan dengan apa hidupan liar ini termasuk PERHILITAN, Jabatan Hutan dan sebagainya sebab kita boleh kumpul sumber untuk isu ini. Terima kasih.

Speaker

Ok Yang Berhormat, cukup.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih soalan tambahan daripada YB Panti dan sekarang Jabatan ataupun agensi yang disebutkan tadi adalah di

bawah portfolio saya dan saya akan adakan perbincangan di antara agensi. Dan bagi isu yang berlaku di daerah Kota Tinggi, kami dah ada satu mekanisme ataupun cara penyelesaiannya, nanti akan dalam apa ini penggulungan saya yang secara detailnya. Oleh itu saya minta sabar dulu YB Panti, nanti semasa penggulungan saya sila duduk di sini dan dengar penggulungan saya. Sekian, terima kasih

Speaker

Di Jemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

Terdapat aduan berkaitan kekurangan guru Sekolah Agama Johor. Apakah langkah-langkah mengatasi masalah tersebut?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang atas pertanyaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya rasa semua orang gembira, sebab semalam pun hari besar juga Yang Berhormat Datuk Speaker, jangan lupa, Hari Belia Negara. Saya pun dulu lahir daripada kilang belia. (Dewan bertepuk). Semalam hari besar untuk kami orang-orang belia dan kebanyakan EXCO-EXCO negeri pun sebahagiannya masih umur belia.

Yang Berhormat Datuk Speaker hari ini Hari Guru macam YB Hahasrin sebut tadi. Orang rumah saya pun Cikgu, Yang Berhormat Datuk Speaker. Maka Selamat Hari Guru kepada guru-guru. Sebahagian kita punya ADUN pun merupakan guru-guru juga. YB Yusla, YB Rashidah sebelum ini. Kita bangga Yang Berhormat Datuk Speaker pentadbir kita, wakil rakyat kita berbilang latar belakang.

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya, Layang-Layang tanya tentang kekurangan guru sekolah agama Johor. Apakah langkah-langkah mengatasi? Dewan yang mulia, negeri Johor pandang serius isu kekurangan guru-guru sebelum daripada ini, sebabnya apa Yang Berhormat Datuk Speaker, sebahagiannya akibat kematian, sebahagiannya akibat bersara dan yang sedikit menyentuh jiwa Yang Berhormat Datuk Speaker ialah sebahagian guru kita yang dah belai dari awalnya berpindah ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebabnya apa Yang Berhormat Datuk Speaker, antaranya KPM menawarkan kebagusan dalam tarik minat guru kita ke tempat mereka. Jadi, cabaran kami penggal ini ialah memastikan tidak lagi berlaku anak-anak kita, guru-guru berhijrah ke KPM dengan cara memperkasakan guru-guru sekolah agama kita. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berkongsi cerita yang gembira. Pada tahun lepas 2023, kita mencipta sejarah Suruhanjaya Pentadbiran Awam Negeri Johor. Jabatan Agama Islam negeri Johor untuk pertama kalinya mendapat kelulusan 631 perjawatan guru agama paling tinggi dalam sejarah negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebab kita risau YB Layang-Layang bertanya soalan hari ini, tahun lepas saya dah buat. Nak bagi tahu memang guru-guru agama kurang sebelum ini, sebab kita tidak perasan keperluannya di sekolah agama. Kami perlu menjaga kebajikan 198,375 orang murid seluruh Johor tapi guru kami kurang, apa punya barang? Tak boleh. Maka kita berbincang dengan SPAJ di PSM lulus 631 iaitu adalah melambangkan lebih kurang 21% pengambilan berbanding perjawatan warannya 3,321. (Dewan bertepuk). Menjadikan kali ini sehingga April 2024 Dewan yang mulia termasuk para hadirin. Yang Berhormat Datuk Speaker nak tanya sikit ini cukup ke kapasiti kerusi pemerhati? Orang Semerah ada 2 bas baru sampai kat luar tu, nak letak kat mana Yang Berhormat Datuk Speaker tolong dibincangkan dengan Puan Jurutulis. 3,151 kami dapat jadikan dia kecil YB Layang-Layang sehingga sekarang kekosongan hanya tinggal 8.67%.

273 kekosongan sahaja, kekosongan paling kecil pernah dicipta dalam perjawatan guru-guru sekolah agama. Ini maksudnya kerajaan Maju Johor memang tidak mahu dan tak boleh membiarkan anak-anak murid yang ramai itu gurunya kurang. Pengambilan 671 itu Yang Berhormat Datuk Speaker menyebabkan kita sekarang sehingga April 2024, bilangan guru sekolah agama adalah berjumlah 2,878, yang diisi di mana 2,474 adalah tetap, 230 orang kontrak, itu guru-guru kerajaan. Kita juga dibantu oleh 1,921 orang guru KAFA di semua 582 buah sekolah agama. Banyak sekolah agama kita Yang Berhormat Datuk Speaker. Jadi kita menyasarkan pengambilan-pengambilan ini menatijahkan kepada perkhidmatan yang lebih cemerlang supaya anak-anak kita di pendidikan sekolah agama dapat lebih gemilang Yang Berhormat Datuk Speaker.

Pengambilan terbanyak tersebut bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG29, berlaku pada hujung 2023 dan awal tahun hari itu sebanyak 631 kekosongan tawaran perjawatan DG29 ditawarkan bagi kekosongan bertaraf tetap 300, kontrak 331. Ini bertujuan bagi mengatasi masalah kekurangan guru yang sering berlaku dan guru-guru ini sebahagiannya Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun melaporkan diri yang terlewat hari itu Februari 2024. Dan Insya-Allah kita memastikan profesion lebih perkasa dengan cara apa Yang Berhormat Datuk Speaker. Guru-guru sekolah agama kita, Guru Besar sekarang ini telah pun mula diberi elaun tambahan.

Yang Berhormat Datuk Speaker apa lagi penambahbaikan yang bagus untuk guru-guru kita. Antaranya Yang Berhormat Datuk Speaker, kita nak bagi tahu, bagi mengelakkan guru-guru sekolah agama ini dia berhijrah KPM. Yang Berhormat Datuk Speaker, kami ada resepi baru. Dia berhijrah sebab memperlihatkan perguruan di bawah kami ini kurang menarik. Antaranya apa Datuk Speaker, sebelum ini kita tak perasan guru sekolah agama ini naik grednya lambat tuan-tuan. KPM naik gred 8 tahun dah naik gred. Guru sekolah agama 10 tahun tunggu baru naik gred, mana tak dia larinya Yang Berhormat Datuk Speaker? Tapi penggal Maju Johor ini Yang Berhormat Datuk Speaker saya nak berkongsikan, kerajaan Johor akan melaksanakan kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan bermula tahun ini. Saya ikat guru-guru saya supaya kekal berkhidmat bersama kerajaan Johor. Kesannya daripada pelaksanaan time-based ini Yang Berhormat Datuk Speaker, guru agama akan menikmati kenaikan pangkat dalam tempoh yang lebih pendek Yang Berhormat Datuk Speaker, rupanya tak semua orang suka panjang, pendek lebih suka. Sebab naik pangkat, naik gaji pun lebih cepat. Mereka akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji dalam tempoh yang lebih singkat. Jika dibandingkan sebelum tahun-tahun sebelumnya, guru-guru sekolah agama mengambil masa 10 tahun nak naik pangkat daripada DG29 ke DG32. Dan tiada kenaikan pangkat dari DG32 ke DG34. Maka, guru-guru kita nampak tak ada kerjaya yang memberangsangkan dalam sektor agama ini.

Maka, kita kali ini akan pastikan guru-guru agama gembira bahkan berbangga jika mereka kekal sebagai pendidik agama di negeri Johor Darul Ta’zim. Dengan pelaksanaan skim yang ditimbal guna daripada KPM ini pun kerja baik KPM. Sebelum ini anak-anak kita berhijrah kepada mereka, sekarang saya ambil resepi mereka saya bawa dalam jabatan saya supaya anak-anak guru-guru pendidikan kita tidak berhijrah ke sana lagi. Bila penstrukturan skim ini kenaikan pangkat akan jadi lebih pendek daripada 10 tahun ke 8 tahun. Untuk gred DG29 ke DG32 dan guru-guru sekolah agama akan menikmati kenaikan gred dari DG32 ke DG34 dengan mengambil tempoh 8 tahun sahaja. Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menguruskan di peringkat dasar dan kini dalam proses penelitian bagi pelaksanaannya. Dengan penambahbaikan skim pangkat ini akan menambah minat guru-guru untuk terus berkhidmat dan akhirnya mengurangkan masalah kekurangan guru-guru di sekolah-sekolah agama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, jawapan saya.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat dan tahniah juga kepada kerajaan negeri. Mungkin ramai di kalangan kita terlupa bahawa semasa Tan Sri Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran, dia telah memperkenalkan satu dasar iaitu Sekolah Satu Sesi sahaja. Maka diharap semua sekolah-sekolah agama negeri ditutup tetapi Johor membantah kerana apa tuan-tuan sebab ketika itu Menteri Besar Johor Tan Sri Hassan Yunos adalah bekas Mufti. Maka dia tak bersetuju sebab itulah Sekolah Agama Johor masih wujud dan semakin perkasa. Sebab itu kita menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana terus memberikan perhatian kepada perkembangan sekolah agama di negeri Johor. Ya sila, Tenang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apa pula status guru-guru yang masih belum dapat menikmati kenaikan pangkat secara time-based ke gred DG32 daripada DG29 terutamanya yang berada di daerah Segamat, walhal telah berkhidmat lebih 13 tahun di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor sebagai guru KAFA dan guru agama kontrak. Mohon perhatian dan semakan Yang Berhormat EXCO. Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih YB Tenang. Betul macam yang saya sebut tadi Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa pelaksanaannya tahun ini. Jadi kegusaran, kerisauan guru-guru sekolah agama yang memang menanti kenaikan gred itu, dia akan berlaku tahun ini dan saya komited YB Tenang untuk memastikan di semua tempat termasuk Segamat, pelaksanaan itu akan berlaku seluruh negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada jawapan diberikan oleh Yang Berhormat Semerah. Cuma saya ingin menambah sedikit Yang Berhormat, soalan saya tentang kedudukan guru-guru KAFA yang sekarang ini masih mengajar membantu guru-guru yang sedia ada, adakah mereka ini akan diserapkan di dalam skim perkhidmatan tetap guru-guru Sekolah Agama Kerajaan Johor? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang. Yang Berhormat Datuk Speaker, guru KAFA ini dia anak JAKIM, dia anak angkat yang paling kita sayang sebab JAKIM bekalkan warannya kepada Johor 2,000 orang. Tapi, untuk makluman Dewan yang mulia, Johor sehingga hari ini dapat baru 1,921 orang. Maksudnya JAKIM berhutang dengan kita lebih kurang lagi 79 orang, sebab warannya begitu 2,000 orang. Jadi YB Layang-Layang sebut guru KAFA ini dapat tak serap ke jawatan tetap sepertimana juga soalan YB Tenang tadi. Apakah kebajikan yang kita dijaga untuk mereka?.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang saya sebut tadi, jawapan awal saya daripada 631 perjawatan yang kita buka tahun lepas itu dan juga pengambilannya perjawatannya telah pun sempurna Februari tahun ini, keseluruhannya. Daripada jumlah itu YB Layang-Layang, guru-guru KAFA kita 248 orang dapat tetap. Maksudnya guru KAFA memang tak pernah disisihkan, mereka guru agama kita, mereka ada kelebihan untuk mendapat keutamaan. Jadi guru KAFA yang dah lama tadi itu, sebahagiannya 248 dapat tetap dan 96 orang dapat kontrak.

Datuk Speaker saya tahu jumlah 1,900 itu banyak, tapi sebab kita boleh buka 631 jer jadi tak boleh nak menampung penuh. Dengan ini saya percaya YB Layang-Layang bahawa ini adalah usaha kita yang berterusan dan saya juga akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk berusaha memastikan baki 273 yang merupakan 8.67% lagi perjawatan guru agama yang masih kosong ikut warannya. Saya berazam untuk mohon lagi kepada kerajaan negeri bagi kali ini.

Datuk Speaker, guru KAFA ini walaupun dia anak angkat yang paling kita sayang Yang Berhormat Datuk Speaker, tetapi kerajaan Johor punya jaga macam anak sendiri. Yang Berhormat Datuk Speaker, tahukah kita bahawa guru KAFA juga sudah menerima caruman PERKESO. Tahukah kita Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa bagi tahun ini guru KAFA juga mendapat bantuan One-Off sebanyak RM2,000.00 sebulan. Bersamaan dengan kenaikan seolah-olah RM166.00 sebulan. Sebab guru KAFA, persatuan mereka hantar surat kepada kerajaan negeri minta kerajaan negeri tambah elaun mereka. RM1,100.00 JAKIM bayar, pusat yang bayar guru KAFA ini. RM500.00 kerajaan Johor dan bayar tambahan. Maksudnya guru KAFA yang di Johor memang lumayan, RM1,600.00 elaun penuhnya. Tapi sebab guru-guru ini bertugas di sekolah kita, mereka buat surat cinta pada saya Yang Berhormat Datuk Speaker, mintak supaya naik elaun lagi. Tapi, Alhamdulillah Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun negeri tak dapat naikan elaun mereka secara tetap, Dato’ Menteri Besar dia bagi One-Off RM2,000.00 bonus kepada semua guru KAFA kita Yang Berhormat Datuk Speaker. (Dewan bertepuk). Yang saya katakan tadi bersamaan dengan RM166.00 kenaikan kalau dipakai bulan-bulan. Kalau RM2,000.00 belanja shopee, hari itu juga habis. Yang Berhormat Datuk Speaker nilainya berapa, nilainya 3, maaf, dan kemudian kita beri lagi Bantuan Khas Hari Raya, proportionate berkadaran maksimum RM1,500.00 seorang. Ini, hari raya hari itu Yang Berhormat Datuk Speaker, guru KAFA pun dapat. Paling tinggi RM1,500.00, kalau yang kurang itu dia proportionate berkadaran pada tempoh perjawatan. Untuk ini sahaja RM3,887,074.56, Kerajaan Johor salurkan untuk guru KAFA sempena Hari Raya dan kalau mereka ini dapat penuh Yang Berhormat Datuk Speaker, RM2,000.00 tambah RM1,500.00, RM3,500.00 guru KAFA yang kadar penuh itu dapat untuk digunakan sebagai sumbangan penghargaan tambahan Kerajaan Johor kepada mereka. Kami sayang guru KAFA. Mini Iove sikit Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullah.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Sungai Balang soalan nombor 5.

Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha untuk memperkasakan pusat sembelihan berlesen di negeri Johor, seterusnya memastikan pematuhan halal dipatuhi oleh pengusaha pusat sembelihan tersebut bagi memastikan produk daging yang dikeluarkan bersifat Halalan Toyyiban?

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang yang telah mengajukan soalan berkenaan dengan rumah sembelihan di negeri Johor.

Untuk makluman seisi Dewan, sehingga tahun 2024 terdapat 18 rumah penyembelihan swasta berlesen ruminan di negeri Johor iaitu 17 dijalankan oleh pengusaha persendirian dan 1 oleh Jabatan Veterinar, di mana 3 buah rumah sembelihan ini merupakan rumah penyembelihan untuk ruminan kecil iaitu kambing dan biri-biri. Manakala 14 buah rumah penyembelihan merupakan rumah penyembelihan ruminan besar iaitu lembu dan kerbau.

Bagi memperkasa rumah penyembelihan swasta berlesen ini, Kerajaan Negeri Johor telah menyalurkan insentif peralatan sembelihan bernilai RM900,000.00 pada tahun 2023. Insentif ini berbentuk peralatan seperti railing karkas, platform, mesin pemotong karkas serta kotak sembelihan kepada 3 buah rumah penyembelihan iaitu –

1) Rumah Penyembelihan di Rengit, Batu Pahat 2) Di Bukit Gambir; dan 3) Di Pekan Nanas, Pontian

Penyembelihan haiwan ternakan di rumah penyembelihan ini sentiasa dipantau oleh Jabatan Veterinar supaya ia terjamin dari segi kebersihan dan keselamatannya. Setiap rumah sembelih ini diwajibkan mempunyai tukang sembelih yang telah mendapat tauliah penyembelihan halal daripada Jabatan Agama Islam.

Selain daripada itu, tempat penyembelihan di rumah sembelih hendaklah berada dalam keadaan bersih dan selamat. Manakala alatan sembelihan perlu dipastikan tajam. Karkas juga hendaklah digantung dengan ketinggian yang bersesuaian supaya tidak mencecah lantai dan dilapah di tempat yang bersih. Karkas dipotong dengan menggunakan papan pemotong daging dari material yang bersih, selamat dan kukuh serta dilakukan di atas meja dan dimasukkan ke dalam bekas yang bersih. Pengendali rumah penyembelihan ini perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengelak sijil rumah penyembelihan mereka ditarik balik.

Selain itu... selain daripada Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor juga turut memberikan komitmen yang tinggi bersama Kerajaan Negeri Johor dengan pelbagai langkah inisiatif melalui peruntukan yang telah disalurkan bagi program memperkasakan sektor pengeluaran agro makanan khususnya aktiviti pemasaran, pengeluaran daging dan produk berasaskan ternakan.

Buat masa ini, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor telah pun mempunyai sebuah Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian atau PPHP dan Pusat Sembelihan yang sudah sedia untuk beroperasi di PPK Sri Medan, Batu Pahat Johor bagi pemprosesan daging kambing segar. Ia mampu memproses 30 ekor kambing sehari dengan sasaran jualan RM1,500,000.00 setahun pada tahun pertama operasi. Pusat Sembelihan ini dibangunkan di bawah peruntukan khas Kementerian Kewangan dan Pelaksanaan Inisiatif Projek Jaminan Makanan Tahun 2023 berjumlah RM850,000.00.

Selain itu bagi memperkasa pusat sembelihan berlesen di Negeri Johor, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor juga akan membangunkan sebuah lagi Rumah Penyembelihan secara komersil dan bersistematik di PPK Batu Anam, Segamat, Johor. Rumah Penyembelihan Ruminan PPK Batu Anam ini akan dibina di atas tanah berkeluasan 2 ekar dijangka mampu memproses 200 ekor lembu setahun dengan sasaran jualan RM950,000.00 setahun pada tahun pertama operasi.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM850,000.00 bagi pelaksanaan Pusat Penyembelihan PPK Batu Anam ini.

Setiap ternakan yang disembelih di Pusat Penyembelihan PPK Sri Medan dan PPK Batu Anam ini adalah berdasarkan syarat yang betul dan disembelih oleh penyembelih yang bertauliah serta diperakui oleh Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Komitmen kerajaan negeri melalui penyediaan peruntukan pembangunan khas ini telah memberi pengiktirafan kepada LPP Negeri Johor bersama menyokong peningkatan rantaian agro makanan dengan mewujudkan pusat penyembelihan yang akan mengeluarkan produk

yang berkualiti dan halal untuk kegunaan tempatan dan luar Negeri Johor. Perkhidmatan di pusat sembelihan ini juga akan memberi nilai tambah kepada penternak-penternak bagi sembelihan halal dan jualan daging segar tempatan serta memberikan perkhidmatan sembelihan dan perkhidmatan kepada pasaran secara konsisten. Langkah dan usaha yang diambil bagi memperkasakan produk Halalan Toyyiban ini di peringkat LPP Negeri Johor akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan keselamatan produk terjamin dan menyumbang kepada pengurangan import daging negara.

Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih YB EXCO di atas penerangan. Ahh... sebentar tadi YB EXCO menyatakan di Negeri Johor ini hanya terdapat lebih kurang 17 pusat penyembelihan. Saya rasa itu tidak mencukupi.

Jadi saya nak tanya bagaimana pula pihak Jabatan, pihak negeri untuk menampung contohnya kalau hari perayaan sebab tak lama lagi kita akan menyambut hari raya korban. Kalau cuma 17 pusat penyembelihan, banyak lembu tak untuk korban nanti. Mohon untuk dapat penjelasan. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum itu saya ucap terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada LPP Negeri Johor - yang 5 orang daripada PPK Sri Medan dan 5 orang daripada PPK Batu Anam. Mereka yang mengendalikan PPK (Pusat Penyembelihan) yang saya sebutkan tadi.

Terima kasih kepada YB Sungai Balang yang prihatin tentang bagaimana kerajaan atau Veterinar untuk memastikan kecukupan menampung jumlah sembelihan yang meningkat menjelang Hari Raya Korban.

Untuk makluman Ahli Dewan, pada tahun lepas Veterinar telah meluluskan lesen sementara bagi pusat kebenaran sembelihan sementara sebanyak 200 buah di negeri Johor. Dan untuk tahun ini, kita masih membuka iklan ataupun permohonan bermula 15 sehingga 29 Mei 2024 bagi pusat-pusat penyembelihan sementara untuk menjalankan kerja-kerja penyembelihan di musim hari raya korban.

Dan untuk makluman Ahli Dewan, terdapat syarat-syarat bagi memenuhi pusat kebenaran sembelihan sementara ini. Antaranya ialah –

1. Mesti mempunyai bangunan dan infrastruktur yang ditetapkan seperti holding yard, tempat sembelihan, tempat melapah dan sistem kumbahan yang baik.

2. Mesti mempunyai ruang eviserasi iaitu mengeluarkan isi perut dan organ dalaman.

3. Pemotongan daging hendaklah menggunakan papan pemotong daging atau chopping board dari bahan yang sesuai, bersih, selamat dan kukuh.

4. Memastikan keseluruhan premis dan tapak penyembelihan, melapah, memotong, mengagih dan tempat pusat pengurusan penyembelihan dibersihkan serta dibasmi kuman sebelum dan selepas aktiviti penyembelihan.

Dan untuk makluman Ahli Dewan juga, sepanjang program korban ini semua pusat penyembelihan sementara ini dipantau oleh pegawai-pegawai Jabatan Veterinar Daerah masing-masing. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kempas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 6.

Apakah tindakan pihak PKPJ dalam menangani masalah lambakan kereta dan lori yang usang di PPR Permai Kempas yang mengakibatkan terhadnya petak parkir dan kesesakan lalu lintas.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Ilmu cahaya suluhan sakti, membentuk insan budi pekerti, terima kasih cikgu jasa dan bakti, semoga sentiasa sihat diberkati.

Soalan Yang Berhormat Kempas berbunyi apakah tindakan pihak PKPJ dalam menangani masalah lambakan kereta dan lori usang di PPR Kempas yang mengakibatkan terhadnya petak parkir dan kesesakan lalu lintas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syarat-syarat menyewa di PPR dan RSK atau Rumah Sewa Kerajaan di negeri Johor antaranya adalah had pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000.00 dan mestilah tiada pemilikan harta kediaman yang lain. Pembangunan PPR Kempas Permai adalah siap dibina pada tahun 2006. Telah berusia lebih 18 tahun yang lalu. Jumlah unit yang ada kat sana 2,252 sedangkan petak parkir 850 sahaja ataupun 38%. Jumlah ini tentunya tidak mencukupi untuk melaksanakan dasar satu rumah satu kenderaan dan ia semakin meruncing disebabkan pertambahan bilangan kenderaan saban tahun.

Oleh yang demikian, PKPJ atau Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor telah mengambil beberapa pendekatan dan inisiatif untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan. Antaranya termasuklah penambahbaikan dari segi kemudahan infrastruktur dan juga penambahanbaikan dari segi pengurusan.

PKPJ telah mengenalpasti cadangan naiktaraf kawasan parkir tambahan, Insya-Allah jumlahnya sekitar 400 parkir dan tempat pejalan kaki berbumbung, yang jumlahnya sekitar RM2,000,000.00 yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan dan Penyelenggaraan Perumahan Negeri Johor untuk dilaksanakan pada tahun 2024. Pelaksanaan penambahbaikan infra dan kemudahan ini turut mengembilkira keperluan bagi segala struktur binaan haram dan tidak sah di atas tanah PPR Kempas untuk dirobohkan dan dibersihkan bagi tujuan naiktaraf kawasan parkir tambahan.

Selain itu... selain daripada itu PKPJ telah dan akan memanjangkan pelaksanaan dasar baru PKPJ iaitu Satu Rumah Satu Kenderaan di PPR lama sebagaimana yang kita laksanakan di PPR-PPR baru yang lain seperti PPR Melana Indah, PPR Uda Utama, PPR Perling, PPR Pelangi Indah, PPR Cahaya Senibong dan PPR Tiram.

Dasar ini merangkumi pelaksanaan inisiatif profiling maklumat peserta PPR yang aktif dan sah berdaftar termasuklah maklumat peribadi dan maklumat kenderaan. Selain itu, PKPJ juga

akan melaksanakan sistem pintu masuk berpalang dan kawalan keselamatan. Peserta-peserta yang akan dibekalkan dengan pas pelekat kenderaan setiap satu bagi kenderaan yang berdaftar di pejabat pengurusan. Hanya kenderaan yang ada pelekat sahaja dibenarkan masuk dan parking di kawasan dalam PPR.

Mana-mana pelawat yang hadir hendaklah melapor dan mendapatkan pas pelawat di pondok keselamatan. Kenderaan yang tidak berdaftar dan tidak sah akan dikenakan tindakan clamping sekiranya tidak mematuhi peraturan yang dikuatkuasa. Inisiatif ini akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun 2024 dan akan dilaksanakan secara sepenuhnya menjelang hujung tahun 2024. Hal ini kerana pelaksanaan memerlukan kos tambahan sepertimana seperti pemasangan palang, pelekat dan kawalan keselamatan.

Walau bagaimanapun, inisiatif ini perlu mendapat sokongan, kerjasama semua pihak agar pelaksanaan berjalan lancar, tidak ada isu berbangkit dan bantahan daripada peserta PPR.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menambah untuk tahun 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan untuk PPR sahaja RM36,800,000.00 bagi baikpulih dan penyelenggaraan 13 PPR yang melibatkan kerja-kerja naiktaraf longkang, sistem perparitan, gerai, medan niaga, naiktaraf pagar, sistem perpaipan, baikpulih lampu jalan, tembok penahan naiktaraf parkir dan kemudahan yang lain.

Untuk PPR Kempas Permai sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan RM6,800,000.00. untuk baikpulih Rumah Kasih... Rumah Sewa Kerajaan atau RSK dan rumah pangsa kerajaan, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM19,000,000.00 bagi baikpulih rumah sewa kerajaan dan rumah pangsa kerajaan. Bagi flat awam, pangsapuri awam, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM14,100,000.00 bagi membaikpulih flat awam iaitu di Flat Taman Impian Emas dengan jumlah peruntukan RM1,600,000.00, Rumah Pangsa Tangkak dengan jumlah peruntukan RM2,000,000.00, Rumah Flat Haji Manan dan Taman Bersatu Kluang RM8,500,000.00 dan RM2,000,000.00 untuk baikpulih pangsapuri EDL. Jumlah keseluruhan baikpulih PPR, RSK dan flat awam berjumlah RM76,150,000.

Jadi untuk makluman Dewan yang Mulia ini, PPR ini perbelanjaan dia agak... agak kasar sebab itu ini RM76,000,000.00 adalah daripada peruntukan Tabung Perumahan. Ini tidak termasuk juga peruntukan daripada KPKT. Terima kasih.

Speaker

Ya jemput Kempas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi disebut bahawa PKPJ telah pun apa ini bercadang untuk menambah parking di PPR Kempas ini dengan jumlah 450 lebih. Saya ucap terima kasihlah di atas usaha yang dibuat oleh PKPJ dan juga Yang Berhormat EXCO. Cuma soalan saya pada tahun lepas, Yang Berhormat Timbalan Menteri juga telah pun datang ke PPR ini dah pun meluluskan peruntukan pembinaan parking bertingkat di PPR Kempas ini. Jadi soalan saya, adakah yang ini semua tadi adakah peruntukan yang sama atau ini tambahan daripada apa yang diluluskan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri dan kalau apa ini cadangan ini cadangan berbeza saya ingin bertanya apakah status cadangan pembinaan parking bertingkat yang diluluskan Yang Berhormat TPM dan bilakah akan dilaksanakan dan berapa jumlah parking yang akan disediakan dalam apa ini permohonan ini. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan tersebut dengan menggunakan peruntukan bawah KPKT. Permohonan tersebut perlu diangkat melalui

peruntukan khas melalui dinaik taraf kawasan parkir bertingkat tiada dalam skop. Program penyelenggaraan perumahan rutin yang diperolehi negeri Johor setiap tahun dan Insya-Allah kerajaan negeri melalui PKPJ akan berusaha memastikan kelulusan kerja-kerja naik taraf parking melalui ruang dan kaedah terbaik. Untuk soalan tambahan Yang Berhormat Kempas tadi, 400 parkir dan pejalan kaki berbumbung ini adalah peruntukan daripada kerajaan negeri. Setakat ini, belum ada peruntukan daripada permohonan Timbalan Perdana Menteri. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Sekali lagi kita ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat kerana akan menjadi tetamu Allah dan didoakan mendapat haji yang mabrur. Dijemput Yang Berhormat Kemelah.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 7.

Berapakah jumlah peruntukan dibelanjakan untuk membaiki lampu jalan di dalam DUN Kemelah Januari 2022 hingga 2023 dan apakah langkah kerajaan untuk membaiki kerosakan lampu jalan raya sedia ada dengan lebih efektif?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga nak mengalu-alukanlah kehadiran pemerhati daripada DUN Bukit Pasir yang terdiri daripada ketua-ketua kampung dan pemipin-pemimpin masyarakat dalam DUN Bukit Pasir. Saya risau juga soalan saya ini takut lambat-lambat dia orang dah keluar, sebab orang Semerah tadi 2 bas nak masuk.

Jadi terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya terus saja menjawab soalan daripada Yang Berhormat daripada Kemelah. Jabatan Kerja Raya Negeri Johor sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan keutamaan dalam menyelenggara pepasang lampu jalan milik JKR. Setiap tahun sejumlah peruntukan diterima untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan di seluruh negeri Johor untuk jalan negeri dan jalan persekutuan. Bagi penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan di bawah peruntukan Jabatan Kerja Raya di DUN Kemelah dari Januari 2022 hingga tahun lepas Disember 2023 sebanyak RM170,000.00 telah diperuntukan untuk laluan ST001 iaitu pembaikan lampu jalan dari persimpangan FELDA Kemelah hingga persimpangan Astaka Jaya. Laporan penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan di bawah Majlis Perbandaran Segamat pula di DUN Kemelah tahun lepas melibatkan 28 unit lampu LED di bawah peruntukan KPKT sebanyak RM20,000.00 di Jalan Putra 1/44 Bandar Putra. Manakala di bawah peruntukan Pejabat Daerah Segamat, lampu jalan kampung yang telah lulus dan dipasang dari tahun 2017 hingga 2020 adalah sebanyak 353 unit.

Bagi penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan secara efektif, pihak JKR secara sebut harga terbuka telah melantik kontraktor untuk kontrak berkala penyelenggaraan lampu jalan untuk jalan laluan negeri bagi tempoh 2 tahun bagi setiap daerah di seluruh negeri Johor. Bagi daerah Segamat termasuk kawasan DUN Kemelah kontraktor berkala telah dilantik dengan peruntukan sebanyak RM327,555.00 bagi tahun 2023 hingga 2025 melalui peruntukan MARRIS. Kontrak berkala ini akan sentiasa memastikan setiap lampu jalan dan peralatan seperti kabel, tiang dan peti kawalan sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan berfungsi dengan baik setiap masa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya di setiap laluan di negeri Johor.

Bagi lampu-lampu di bawah tanggungjawab JKR, dalam kerja-kerja pembaikan akan dilakukan dalam tempoh 7 hari daripada aduan bergantung kepada jenis kerosakan. Bagi lampu-lampu jalan di bawah tanggungjawab TNB bagi kawasan kampung ianya akan mengambil masa 24 jam mengikut kepada kerosakan. Manakala di kawasan bandar ianya akan mengambil masa dalam tempoh dalam 12 jam bergantung kepada jenis kerosakan. Bagi lampu-lampu jalan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dalam tempoh 24 jam akan ada mereka yang akan buat siasatan terhadap kerosakan dan sama juga seperti yang saya sebutkan tadi JKR dan TNB ianya bergantung kepada jenis kerosakan. Sekian, terima kasih.

Saya nak tanya Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya sila.

Tadi jawapan yang dibagikan oleh EXCO memang cantiklah, seminggu, satu hari, 24 jam tapi tempat saya itu dah berbulan-bulan dah bertahun dah saya rasa tak settle lagi, saya minta jawab sikitlah, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Permas. Saya tak bawa datanya untuk kawasan Permas tapi secara overall Yang Berhormat Datuk Speaker, ini adalah SOP yang telah ditetapkan. Namun begitu macam saya sebutkan tadi ianya bergantung juga kepada jenis kerosakan. Kalau Yang Berhormat Permas tadi mungkin menyentuh berkaitan dengan kawasan lebuh raya Pasir Gudang kalau saya boleh kongsikan, di kawasan ini melibatkan beberapa PBT dan juga JKR, termasuk ianya melibatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Jadi, Insya-Allah Yang Berhormat Permas dalam tempoh masa terdekat saya akan turun ke sanalah untuk melihat apa isu sebenar. Terima kasih.

Speaker

Jemput Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya, apakah perancangan JKR pada masa akan datang untuk melebihkan pemasangan lampu solar ataupun lampu tradisional biasa, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau, terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Jika melibatkan kos sebenarnya pemasangan lampu secara konvensional di atas tiang itu jauh lebih murah kerana ianya melibatkan bil elektrik secara bulanan. Disebabkan teknologi solar ini ialah teknologi baru, maka kos dia agak tinggi berbanding penggunaan elektrik secara konvensional. Namun begitu, seperti yang saya pernah maklumkan sebelum ini, JKR dalam proses untuk menggunakan teknologi yang mesra alam seperti solar dan sebagainya. Namun begitu ia bergantung kepada kawasan, jika kawasan tersebut memiliki sumber bekalan elektrik, maka kos yang paling terjimat ialah kita menggunakan sistem biasa pasang lampu di atas apa itu berwayarlah, berkabel. Namun begitu, bagi kawasan-kawasan yang memang tak ada sumber bekalan elektrik memang kita akan letakan lampu solar sebagai keutamaan.

Sebagai info tambahan juga Yang Berhormat Datuk Speaker, selain kita menggunakan lampu sedia ada, lampu solar, reflecter di tepi jalan. Antara teknologi baru yang kita cuba aplikasi buat masa ini ialah road line glow in the dark, dia bercahaya di waktu malam. Saya faham mungkin Yang Berhormat dalam perbahasan pun ada menyebut tentang keupayaan glow in the dark ini. Tapi ini dalam tempoh percubaan dan insyaAllah kita akan tambah baik sebab

penggunaan glow in the dark ini buat masa ini ada yang gunakan ketahanan 4 jam ataupun 6 jam. Tapi teknologi yang lebih baik Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau saya boleh kongsikan glow in the dark ini boleh menyerap lampu dari kereta itu sendiri. Jadi dia tak perlu tunggu waktu siang, dia serap tenaga, dia serap cahaya dan dia glow di waktu malam. Jadi kita boleh gunakan ada juga teknologi begitu, namun ianya melibatkan kos yang amat tinggi dan Insya-Allah kita di peringkat JKR sedang mengkaji. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Jangan lupa selepas bawa pemerhati makan tengah hari bawa mereka ke JPO pulak dan belikan sorang satu handphone, OPPO pun tak apa. Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 8.

Berapakah standard jumlah murid setiap bilik darjah yang disarankan oleh KPM dan pakar bidang pendidikan? Berapakah bilangan bilik darjah SML dan SRK yang melebihi jumlah standard? Bagaimana pula kaedah pengauditan kecekapan sistem pencegahan kebakaran dan pengauditan kebersihan tandas sekolah-sekolah.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Sebelum saya menjawab soalan di atas tanggungjawab saya untuk menjadikan pendidikan Bangsa Johor jadi lebih baik dan bersama dengan guru-guru di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada ke semua 48,502 guru-guru seluruh negeri Johor dengan ucapan Pen merah pen biru, Guru-guru Johor ILU. Terima kasih cikgu. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk menjawab soalan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pengiraan jumlah murid dalam kelas berdasarkan nisbah murid kelas atau purata saiz kelas iaitu purata bilangan murid bagi satu kelas pada peringkat pendidikan tertentu. Saiz kelas merujuk kepada jumlah enrollment murid berbanding jumlah bilangan kelas di sebuah sekolah. Saiz kelas yang bersesuaian dapat memberi sokongan terhadap persekitaran pembelajaran, kondusif dan seterusnya menyokong keberhasilan murid.

Secara umumnya purata saiz kelas pada peringkat rendah dan menengah di sekolah bandar dan luar bandar KPM masih berada di bawah 35 orang, iaitu nilai saiz kelas optimum berdasarkan garis panduan dan peraturan bagi perancangan bangunan edisi tahun 2025. Selain itu, sekolah di kawasan luar bandar mencatatkan purata saiz pelajar yang lebih kecil berbanding sekolah di kawasan bandar pada peringkat nasional mahupun di setiap negeri.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Johor bersama pihak KPM sentiasa mengambil berat tentang kebersihan, kesihatan dan keselamatan di sekolah bagi menyediakan persekitaran yang kondusif kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah. Oleh itu, JPN Johor telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam meningkatkan fasiliti keselamatan di semua sekolah negeri Johor termasuk pemeriksaan dan penyelenggaraan alat pemadam api secara berkala. Pada tahun 2023 sebanyak RM375,000.00 telah disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah bagi penggantian alat pemadam api yang telah tamat tempoh dan penyediaan buku konsep dan manual sekolah selamat yang mengandungi panduan dan tindakan bagi memastikan keselamatan murid apabila berlaku suatu kecemasan atau

kebakaran. JPN Johor tidak berkompromi berkaitan isu keselamatan warga institusi pendidikan. Oleh itu, sebarang ketidakcukupan dari segi keperluan keselamatan akan ditampung melalui peruntukan semasa.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN Johor sentiasa memberikan perhatian serius terhadap kebersihan tandas sekolah di seluruh negara. Usaha ini juga selaras dengan seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Mei 2023 untuk memastikan kefungsian tandas sekolah dan ketanggungjawaban penjagaan tandas dalam kalangan warga sekolah dipertingkatkan. Tandas yang berfungsi, bersih dan selesa akan mewujudkan suasana kondusif kepada murid dan warga sekolah. KPM telah memperkenalkan Program Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah (PKTS) yang merupakan program jalinan kerjasama KPM dengan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan mulai tahun 2023. Melalui PKTS ini, setiap tandas di sekolah negeri Johor akan dinilai melalui kaedah star rating 1 hingga 5 bintang dan dilaksanakan secara kendiri sebanyak 2 kali iaitu pada bulan Julai dan November setiap tahun.

Pada masa ini pihak JPN Johor dalam persediaan untuk membuat verifikasi bersama PBT bagi tandas sekolah yang bertaraf 3 hingga 5 bintang. Tandas bertaraf 5 bintang akan diberikan pengiktirafan, manakala sekolah yang mempunyai tandas yang tidak mencapai 3 bintang akan dibimbing oleh JPN dan PPD untuk penambahbaikan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, jemput Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO kerana memberi jawapan yang begitu sempurna pada pagi ini. Soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, bagaimana kerajaan negeri melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan PPD boleh membantu dan merapatkan jurang pencapaian pembelajaran di antara sekolah kurang murid iaitu SKM di luar bandar dibandingkan dengan sekolah kebangsaan di bandar yang penuh lengkap prasarananya. Saya bagi contoh seperti SK Ladang Pendas, di Kota Iskandar yang mana muridnya 80% murid orang Asli. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar atas soalan tambahan tadi. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor sentiasa mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak di setiap kawasan tidak kiralah daripada kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Hari ini sistem pembelajarannya adalah sama dan mungkin ada sedikit penambahan akan diberikan kepada mereka-mereka yang pergi sekolah bandar dan elemen-elemen ini akan diterapkan dalam kita nak memperhalusi silibus pendidikan dan Insya-Allah kita akan lakukan demi memartabatkan anak-anak terutamanya anak-anak di luar bandar. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 9. Terima kasih.

Gerak MPK Jalan Panggung Kluang yang bersejarah selama 40 tahun telah sangat uzur malah sebahagiannya telah runtuh, memerlukan baik pulih dan naik taraf. Bolehkan MPK membaik pulih secara berfasa dengan peruntukan pembangunan tahunan daripada KPKT?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar. Maafkan saya. Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan YB ADUN Mengkibol, gerai sedikit dan Jalan Panggung Kluang yang bersejarah selama 42 tahun telah banyak uzur malah sebahagiannya telah runtuh, memerlukan baik pulih dan naik taraf. Bolehkah Majlis Perbandaran Kluang membaik pulih secara berfasa dengan peruntukan pembangunan tahunan MPK.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman pihak Majlis Perbandaran Kluang telah membuat permohonan di bawah Rolling Plan Ke-4 (RP4) RMK12. Jabatan Kerajaan Tempatan atau JKT bagi cadangan kerja-kerja menaik taraf gerai Jalan Panggung pada 13 April 2023. Permohonan yang dibuat melibatkan kos sebanyak RM2,700,000.00 bagi membina 16 unit gerai makan, 40 unit gerai pelbagai, bangunan surau, tandas dan kawasan parkir. Pihak Majlis Perbandaran Kluang juga telah menyediakan kertas cadangan dan pelan konsep bagi projek tersebut dan telah dihantar kepada Jabatan Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kerajaan Tempatan sebagaimana lampiran. Susulan permohonan tersebut pihak JKT juga telah membuat lawatan tapak gerai Jalan Panggung pada 10 Mei 2023. Sekiranya permohonan peruntukan ini diluluskan oleh KPKT, pihak Majlis Perbandaran Kluang akan sentiasa memberi komitmen yang tinggi bagi menjayakan projek pembangunan yang mana akan memberi manfaat kepada kesemua peniaga-peniaga yang sedang beroperasi di gerai Jalan Panggung. Buat masa ini pihak Majlis Perbandaran Kluang menjalankan penyelenggaraan secara rutin bagi kerja-kerja kerosakan kecil di bawah konsep penyelenggaraan tahunan gerai memandangkan terdapat sebahagian gerai MPK yang masih beroperasi. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat Bukit Permai hati dia memang dah kat Mekah dah. Jemput Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan atau satu cadangan penyelesaian dari segi polisi. Tempat ini dulu terdapat 80 lebih gerai, sekarang tinggal kurang dari 10. Jadi adakah boleh menjadi satu polisi di mana gerai-gerai sebegini sebab setiap PBT bawah dia banyak gerai. Bolehkan disasarkan sebab tempat inilah telah menjadi satu landmark seperti YB EXCO kata. Tempat ini memang telah 42 tahun macam Shenzen sebagai Special Economic Zone. Bolehkah menjadi Special Experiment Zone supaya diswastakan, kurangkan beban kewangan, kekangan kewangan PBT ataupun Kementerian. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bila bercakap tentang cadangan, untuk makluman Dewan yang mulia ini di peringkat PBT-PBT kita sentiasa terbuka untuk menerima cadangan-cadangan di peringkat YB-YB kawasan atau pihak swasta ataupun NGO. Tetapi ada jugak trek rekod bila mana kita memberi kepada sektor swasta untuk bangunkan satu-satu kawasan ,itu apa yang berlaku peniaga-peniaga gerai tu terpaksa membayar dengan lebih. Pasal perbelanjaan yang dibelanjakan oleh sektor swasta ni dah tentulah dia bersifat business concept, maknanya dia belanja dia mesti nak ada pulangan modal. Dan pulangan modal ni akan memberi tekanan pada masa akan datang kepada peniaga-peniaga. Itu yang, tetapi, kalau dia berkonsepkan mungkin kebersamaan dengan pihak PBT, dalam maksudnya di peringkat kawalan sebahagian, kita bagi pada sektor swasta, sebahagian Majlis Perbandaran Kluang manage sendiri dengan meletakkan siling-siling tertentu, harga sewa yang rendah untuk membela nasib peniaga-peniaga ini, dan sebahagiannya dibangunkan untuk dipanggil crop subsidi antara swasta yang melabur dengan PBT. Jadi kita boleh menjaga kepentingan kedua-dua pihak. Jadi saya alu-alukan cadangan daripada YB kepada Majlis Perbandaran Kluang. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 10.

Apakah usaha kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan tani muda yang mempunyai kesukaran untuk memiliki tanah bagi melaksanakan projek pertanian mereka?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kukup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 11.

Apakah usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu dan menggalakkan orang muda bergiat aktif dalam sektor pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan dapat diperkasakan?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirrahmannirahim. Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat ADUN Penawar dan Kukup yang bertanyakan berkenaan usahawan-usahawan belia tani.

Kerajaan pada masa kini giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan rakyat termasuk golongan belia menceburi pekerjaan dalam sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti menggalakkan industri ini supaya beralih kepada teknologi pertanian pintar dan mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti penyelidikan dan pembangunan R&D serta penggunaan interate of thing atau IOT yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi. Dalam masa sama kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan turut dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Bagi menangani faktor kekurangan tanah seperti yang dibangkitkan oleh YB, bagi menangani faktor kekurangan tanah pertanian, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat sering berusaha bagi mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan merangka penggunaannya sebagai tanah pertanian dalam usaha untuk meningkatkan hasil tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perikanan dan ternakan melalui pembukaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang diurus selia oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar ataupun Jabatan Perikanan. Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk membantu memajukan tanah-tanah terbiar yang sesuai untuk aktiviti pertanian dengan menawarkan pelbagai bantuan dalam bentuk bimbingan dan insentif kepada golongan sasar terutamanya golongan muda. Bagi menggalakkan petani-petani atau usahawan muda kekal bersaing dan berdaya maju, pelbagai insentif telah disediakan kepada para belia tani dan diharap dapat membantu merancakkan pembangunan industri pertanian sebagaimana yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor.

Secara keseluruhannya Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak RM6,961,200.00 telah diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun 2024 bagi pemberian insentif kepada 820,000 orang belia untuk menyokong dan memperkasakan bagi aktiviti pertanian dan penternakan yang diusahakan oleh mereka ini. Kalau boleh saya nyatakan di sini daripada RM52,000,000.00 jumlah keseluruhan peruntukan di bawah pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar,

Perikanan Negeri Johor, Jabatan Pertubuhan Peladang dan Lembaga Nanas Malaysia, daripada RM52,000,000.00 itu, RM6,961,200.00 yang dimaklumkan tadi adalah khusus untuk belia iaitu pecahannya RM5,610,000.00 untuk Jabatan Pertanian Negeri Johor melibatkan 673 penerima manfaat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar RM300,000.00 20 orang penerima manfaat, Jabatan Perikanan Negeri Johor RM140,000.00, 7 penerima manfaat, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor RM170,000.00 dengan 9 penerima manfaat dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Johor, RM741,200.00 dengan 111 penerima manfaat.

Walau bagaimanapun daripada RM6,961,200.00 ini, yang khusus untuk belia tetapi golongan muda dan belia ini boleh merebut juga peluang daripada jumlah keseluruhan yang saya sebutkan tadi iaitu RM52,000,000.00 tadi. Jabatan dan agensi juga menawarkan khidmat nasihat teknikal kursus latihan dan pembelajaran secara teknikal secara hands on telah diberikan kepada peserta bagi memupuk minat dan meningkatkan kemahiran teknikal pertanian. Bantuan dan latihan yang ditawarkan ini salah satu usaha kerajaan bagi membantu belia menceburi bidang pertanian, perikanan dan ternakan. Bantuan seperti ini dapat membantu kumpulan belia dalam menjayakan agensi kerajaan bagi meningkatkan keterjaminan makanan khususnya di negeri Johor. Sebagai contoh, sehingga April 2024, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah melaksanakan 84 kursus atau latihan yang melibatkan penyertaan seramai 1,896 peserta dan dianggarkan 55% daripada peserta ini adalah di kalangan golongan belia. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan tanah-tanah terbiar terutamanya yang boleh diberikan orang muda, anak muda, Tangkak ingin bertanya, apakah bantuan ataupun adakah sebuah jawatankuasa ataupun yang merangkumi agensi-agensi terlibat termasuk pejabat-pejabat tanah iaitu untuk membantu anak muda kita ini supaya dapat menyewa atau mendapatkan tanah daripada tanah-tanah yang terbiar di seluruh negeri. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Tangkak atas soalan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya ini adalah antara isu yang dibangkitkan bukan hanya di kalangan golongan muda, tetapi mereka yang terlibat dalam aktiviti pertanian iaitu untuk mendapatkan tanah yang sesuai untuk program-program pertanian ini. Untuk makluman Yang Berhormat Tangkak, kami sentiasa berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah untuk pastikan kesesuaian tanah yang diperlukan oleh mereka yang terlibat dengan Jabatan Pertanian kerana ada tanah yang telah khaskan atau disyaratkan untuk pertanian, ada perladangan, ada perumahan dan sebagainya jadi ia mesti dibincangkan dengan Pejabat Tanah Daerah. Selain daripada itu Jabatan Pertanian juga ada satu Jabatan untuk membuat kajian tanah iaitu kesesuaian tanah-tanah tertentu untuk tanaman-tanaman tertentu. Bukan semua Yang Berhormat Datuk Speaker tanah sesuai untuk tanaman pisang misalnya. Bukan semua tanah sesuai untuk tanaman durian, misalnya. Jadi kita ada unit khas untuk mengkaji kesesuaian tanah di sesuatu lokasi. Jadi untuk Yang Berhormat Tangkak dan mereka yang terlibat dengan aktiviti pertanian ini, saya menggalakkan supaya berhubung dengan Pejabat Pertanian Daerah dan juga Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan maklumat lebih tepat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Endau nombor 12.

Adakah kerajaan mempunyai perancangan atau menyediakan sejumlah peruntukan bagi pencahayaan di kawasan tanah-tanah perkuburan dalam daerah Mersing?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmannirahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Endau, bertanya sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan jumlah peruntukan bagi pencahayaan tanah-tanah perkuburan terutamanya di daerah Mersing. Jabatan Islam Negeri Johor komited dalam menyelesaikan isu berkaitan tanah perkuburan negeri Johor yang keseluruhannya Yang Berhormat Datuk Speaker berjumlah 832 tanah perkuburan. Bagi tahun 2024 Jabatan Islam Negeri Johor telah menerima sebanyak 52 permohonan baik pulih yang merangkumi kerja-kerja pemasangan pagar, pembinaan dan baik pulih jalan, pembinaan longkang dan saliran, pemasangan lampu limpah dan kerja-kerja tanah. Bagi daerah Mersing terdapat 24 tanah perkuburan dan sebanyak 8 permohonan baik pulih kita terima. Walau bagaimanapun daripada 8 itu YB Endau, kita dapat diluluskan 2 sahaja iaitu tanah perkuburan Buluh Betong, bagi baik pulih sistem perparitan RM30,000.00, tanah perkuburan Makam Endau, baik pulih pagar RM50,000.00. Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, pada dasarnya kerajaan negeri akan menyalurkan RM100,000.00 hingga RM150,000.00 kepada setiap daerah bagi maksud baik pulih tanah perkuburan. Permohonan peruntukan ini secara berperingkat mengikut keutamaan melibatkan aspek keselamatan terlebih dahulu YB Endau. Oleh yang demikian, bagi tahun 2024, kita memberi fokus kepada pemasangan pagar berbanding pencahayaan kerana kita mendapat banyak aduan melibatkan gangguan haiwan liar di tanah-tanah perkuburan Islam. Secara tidak langsung merisaukan ahli kariah sekitarnya. Walau bagaimanapun, sekiranya kita kekal mengatakan tanah perkuburan tersebut perlu diberikan pencahayaan, saya boleh mencadangkan dengan dua kaedah. Pertama, kita boleh membantu ahli kariah tersebut memohon permit kutipan bagi membenarkan satu kutipan awam dibuat bagi maksud lampu-lampu pencahayaan dibuat, ketua jabatan boleh benarkan dan yang kedua, tuan-tuan boleh memohon kepada Jabatan Agama Islam negeri Johor secara peruntukan khas bagi maksud kita menimbangkan keperluan pencahayaan kalau tak dapat yang elektrik sepenuhnya itu siap dengan wiring, kita cadangkan dengan pencahayaan secara tenaga solar. Itu nampaknya lebih mudah dan lebih murah dan dapat disegerakan. Itu dua kaedah yang saya cadangkan YB Endau untuk menjawab soalan sebab memang kita fokus kepada pasang pagar dulu berbanding pencahayaan. Terima kasih.

Speaker

Saya tengok Yang Berhormat bila jawab bab kubur ini, jawab dengan penuh tawaduk. Jadi sekolah agama, jawab semangat betul dia.

Dia insaf Yang Berhormat Datuk Speaker, dia ada ciri-ciri insaf Yang Berhormat Datuk Speaker, memang kita insaf dengan tanah kubur ini.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 13.

Apakah status Projek Pemasangan Meter Pintar yang dilaksanakan oleh TNB di seluruh Johor? Sila bagi jadual pelaksanaan mengikut pecahan daerah.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senai. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak TNB dalam proses pemasangan meter pintar atau dengan

izin, smart meter secara berperingkat bermula awal tahun ini, tahun 2024 dengan statistik pemasangan terkini yang paling tinggi ialah di Johor Bahru 4.3% dan untuk kawasan Johor Bahru ini Yang Berhormat, sebanyak 323,000 akaun yang kita akan siapkan pada tahun ini juga dan buat masa ini 13,914 telah pun dipasang. Statistik-statistik yang lain banyaknya di bawah 1%. Sebagai contoh, Batu Pahat 0.65%, Kota Tinggi 0.57%, Mersing 0.75%, Muar 0.54%, Pontian 0.37% dan Segamat 0.92%. Bagi daerah Tangkak 1%, bagi daerah Pasir Gudang 5.43%, bagi daerah Kulai 2.2%, Kluang 1.2% dan Johor Jaya 3.3%.

Untuk makluman tambahan, antara kelebihan smart meter ini adalah untuk mendapatkan bil elektrik yang sebenar dan tepat pada masanya. Kedua, mengurus kecekapan penggunaan tenaga dan kos bulanan dengan akses kepada maklumat penggunaan harian yang terperinci, menyediakan pemakluman bil tinggi dan dapatkan petua tentang cara mengelakkannya, pemberitahuan gangguan dan juga bayaran fleksibal iaitu pelan pra bayar. Antara cabaran Ahli-Ahli Yang Berhormat semua, antara cabaran dan kekangan yang dihadapi ialah satu, kurangnya kesedaran dan penerimaan pelanggan terhadap meter pintar. Yang kedua ialah kelewatan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kebimbangan mengenai kesan peralatan rangkaian radio frekuensi, orang takut Yang Berhormat Datuk Speaker. Pasang dalam rumah dikata ada frekuensi yang boleh merosakkan kesihatan. Yang keempat ialah prosedur mendapat kelulusan menyeluruh untuk memasang infrastruktur. Smart meter berbeza antara setiap majlis tempatan yang membawa proses memakan masa dan antara cabaran lain ialah majlis tempatan mengenakan cas untuk pemasangan infrastruktur MI dan cas berulang ini boleh memberi kesan kepada tarif elektrik, terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih jawapan yang diberikan oleh YB EXCO. Soalan tambahan saya, kami menerima banyak aduan tentang tuntutan kerugian hasil yang diberikan kepada pengguna elektrik yang setelah meter diperiksa dan ditukar. Jadi, adakah projek pemasangan meter pintar ini dapat mengurangkan aduan seperti ini? Sekian, terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senai. Ya, saya juga dapat banyak juga aduan berkenaan bila pasang smart meter ini bil melambung tinggi. Untuk secara keseluruhan Yang Berhormat Datuk Speaker, meter lama menggunakan meter analog, jadi bila dia dah terlalu lama dia tak dapat nak bacaan tepat. Jadi, smart meter bacaan jauh lebih tepat. Namun begitu, bagi pengguna yang mendapati dia punya bil itu melambung terlalu tinggi, boleh terus merujuk kepada pihak TNB. Itu cadangan daripada saya kepada pengguna-pengguna yang merasakan bil mereka naik terlalu tinggi khususnya, walaupun tanpa ada pemasangan smart meter, boleh laporkan terus kepada pihak TNB, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya nak benarkan satu lagi, satu soalan. Saya jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 14.

Pada bulan April yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah melancarkan satu inisiatif pemberian Bantuan Kewangan Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti Tahun 2024. Apakah bentuk bantuan tersebut dan ianya akan terus disalurkan kepada siapa?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Pekan Nanas. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada bulan April yang lalu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah melancarkan satu inisatif pemberian Bantuan Kewangan Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti. Apakah bentuk bantuan tersebut dan ianya akan terus disalurkan dan kepada siapa?

Yang Berhormat Datuk Speaker, Orang Kurang Upaya merupakan golongan yang perlu diberi perhatian. Oleh itu, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin kepada OKU dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan OKU ini terpelihara. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi OKU. Dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan jagaan, perlindungan, pemulihan, latihan serta peluang pekerjaan Orang Kurang Upaya di samping menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat melalui integrasi dan pembangunan OKU. Program pemulihan PDK ini dilaksanakan sebagai salah satu strategi dalam pembangunan komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU. Program PDK dilaksanakan melalui penglibatan aktif OKU, keluarga dan masyarakat setempat, pendidikan vokasional, sosial dengan menggunakan pelbagai sumber.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada April yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah melancarkan satu inisiatif sebagai usaha meningkatkan pendaya upayakan OKU khusus kepada pelatih PDK. Bantuan yang disalurkan terus kepada 73 buah pertubuhan kebajikan pemulihan dalam komuniti yang beroperasi secara aktif seluruh negeri Johor merupakan satu elaun tambahan sebanyak RM943,200.00. Kedua, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM866,000.00 dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM623,605.32 kepada penyelia dan petugas PDK negeri Johor. Jadi secara keseluruhannya, sebanyak RM2,432,805.32 telah diperuntukkan kepada PDK untuk tahun 2024.

Yang Berhormat Datuk Speaker selain itu, kerajaan persekutuan juga telah meluluskan sebanyak RM16,896,642.60 peruntukan bantuan kewangan kepada 73 buah PDK negeri Johor merangkumi bayaran saguhati penyelia dan petugas, caruman KWSP, PERKESO, penyelia dan petugas, elaun pelatih OKU, utiliti dan sewaan premis PDK. Jadi bagi memastikan premis dan fasiliti pertubuhan PDK lebih selesa, selamat dan kondusif, kerajaan negeri Johor telah meluluskan projek pembaikan dan penyelenggaraan bangunan-bangunan PDK di negeri Johor berjumlah RM640,000.00 kepada 11 buah PDK bagi tahun 2024. Secara keseluruhannya, pemberian bantuan kewangan ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM19,999,447.00 yang telah disalurkan adalah untuk penggunaan pengurusan di PDK termasuk pelatih, penyelia dan petugas PDK. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Persidangan ditangguhkan sehingga jam 11:30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11:15 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman pada hari ini kita akan mendengar penggulungan daripada Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa. Masa yang

diberikan hanya 20 minit sahaja seorang dan saya mohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan. 20 minit.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor, Bismillahirrahmanirrahim. (Doa).

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya memulakan ucapan penggulungan saya, saya ingin mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan daripada Pejabat ADUN Tanjung Surat. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mulakan sesi penggulungan pagi ini pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas perkenan dan rahmat-Nya, Persidangan Dewan telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Patik amat yakin dan percaya bahawa titah ucapan buat julung kali di Dewan yang mulia ini oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor telah disambut baik oleh semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan yang sarat dengan nasihat, teguran dan pandangan serta idea tentunya akan menjadi tumpuan perbahasan pada Persidangan kali ini. Patik menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sangat menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor. Satu perubahan yang perlu dilaksanakan dengan memperbaharui silibus-silibus mata pelajaran yang yang sudah tidak relevan lagi dan setiap anak Johor perlu menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi bukan di bangku sekolah sahaja. Patik akan berusaha besungguh-sungguh dalam mencapai hasrat ini demi kepentingan masa depan anak Bangsa Johor yang lebih terjamin.

Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak akan digerakkan agar pelaksanaan pendidikan berkualiti ini dapat direalisasikan bersama. Transformasi dalam pendidikan perlu dilaksanakan dengan kadar segera supaya rakyat negeri Johor mampu berdaya saing setaraf peringkat antara bangsa dan global. Dalam usaha untuk mentransformasikan pendidikan, tidak dapat dinafikan peranan guru untuk mentransformasikan pendidikan adalah peranan yang paling utama. Guru umpama lilin yang membakar dirinya menerangi kegelapan dan pada ketika sama dirinya begitu bernilai. Hal demikian kerana guru adalah golongan yang berada di barisan hadapan, susulan itu peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar untuk merealisasikan hasrat ini. Pantai surut berhenti dahulu, sudah pasang baru berangkat, kita patut menghormati guru, petua dipegang ilmu diangkat.

Pada hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker, 16 Mei saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh guru di negeri Johor. Terima kasih guru atas pengorbanan anda. Tanpa guru maka hancurlah sistem pendidikan sesebuah tamadun. Guru adalah aset negara yang sangat bernilai dalam membangunkan modal insan yang berkualiti.

Tanpa membuang masa, saya meneruskan penggulungan ini dengan isu yang telah dibangkitkan oleh YB ADUN Kota Iskandar yang telah mencadangkan untuk membubarkan semula modul Karektor Murid Johor yang pernah diperkenalkan beberapa tahun lalu. Untuk pengetahuan Ahli Dewan yang mulia ini, pada 22 April 2024 yang lalu, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah sudi melancarkan Modul Karakter Murid Johor 3.0 di Hotel KSL Johor Bahru. Program ini merupakan kesinambungan pelaksanaan Karakter Murid Johor 2.0 telah dilaksanakan pada tahun 2023. Murid ini juga selari dengan hasrat pendidikan negeri Johor yang sejajar dengan matlamat pendidikan holistik dan teras

pendidikan kebangsaan iaitu untuk mencapai karamah insaniah. Melalui pembubaran ini, Murid Negeri Johor dapat menceburi lebih banyak program atau aktiviti yang melibatkan peningkatan jati diri Bangsa Johor, kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran pengurusan emosi, kemahiran asetif dan pengurangan penglibatan kes salah laku.

Kerajaan Negeri Johor sentiasa memantau dan menilai dari semasa ke semasa pelaksanaan Modul KMJ. Penilaian dan post mortem secara berkala akan dijalankan serta pelaporan dan dokumentasi akan dikerahkan agar kita dapat melahirkan murid negeri Johor yang baik dan berkeperibadian yang unggul di masa akan datang, Insya-Allah.

Seterusnya, perbahasan daripada Yang Berhormat ADUN Sri Medan, ADUN Tenang, ADUN Pemanis yang telah mengutarakan kebimbangan terhadap isu murid yang tidak bersekolah, murid ponteng sekolah dan murid yang tidak berdaftar ke sekolah. Mengikut statistik terkini jumlah murid yang tidak bersekolah adalah berjumlah sebanyak 552 orang iaitu 0.1% sahaja daripada jumlah keseluruhan pelajar di negeri Johor. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar tidak ke sekolah adalah seperti berikut. Faktornya adalah berhenti sekolah kerana bekerja 151 orang, berkahwin satu orang, masalah keluarga 114 orang, kemiskinan seorang, tiada kemudahan pembelajaran terdekat dua orang, sakit kronik 30 orang, sukar ke sekolah dua orang, tidak berminat ke sekolah 164 orang dan dibuang sekolah seramai 87 orang. Kerajaan negeri Johor sangat peka berkaitan pelajar yang tercicir ini. Beberapa siri bengkel verifikasi data dan perkongsian pelaksanaan intervensi telah dilaksanakan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah yang mempunyai data murid yang tidak bersekolah yang tinggi. Antara tujuan bengkel adalah mengenal pasti sebab murid yang berisiko tercicir, murid dibuang sekolah, dan murid yang berhenti sekolah.

Selain itu, pertemuan dan perbincangan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah berlangsung pada 25 April 2024. Antara agenda yang dibincangkan adalah berkaitan isu murid cicir negeri Johor. Sehubungan dengan itu, perancangan program bagi menangani isu ini akan dimulakan dengan sesi libat urus bersama pihak yang berkepentingan yang akan dilaksanakan pada bulan Jun 2024. Antara agensi yang akan turut terlibatkan adalah daripada PDRM dan PIBKS. JPNJ, JKM serta PDRM sentiasa berganding erat dalam menangani isu ini. Untuk makluman, JPNJ dan PDRM telah mengadakan mesyuarat bagi mengatasi isu salah laku ponteng sekolah. Oleh hal yang demikian, bantuan dan konsultasi ibu bapa juga perlu diberikan kepada pelajar yang terlibat atas dasar keperihatinan disebabkan terdapat ibu bapa ini merupakan golongan B40 miskin tegar yang perlu diberi bantuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat ADUN Tenang telah menyuarakan kebimbangan mengenai isu kuarters guru terbiar di kawasan beliau. Kuarters terbiar ini telah mengakibatkan kawasan tersebut kelihatan kotor dan menyeramkan. Oleh hal yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melantik perunding tanah bagi menjalankan kajian mengoptimumkan penggunaan kuarters guru tidak berpenghuni KPM di seluruh negara. Perunding yang dilantik telah pun mengemukakan laporan akhir kajian kepada KPM pada akhir September 2023. Kajian perunding telah dibentangkan kepada KPM pada 9 November 2023 dan syor mengoptimumkan penggunaan kuarters telah mendapat kelulusan untuk dilaksanakan secara berfasa. Pada masa yang sama, KPM akan melaksanakan tukar fungsi kuarters dan memproses penyewaan kuarters kepada agensi yang memohon kuarters KPM secara case by case, dengan izin. Untuk negeri Johor pada masa kini tiada lagi permohonan dari mana-mana pihak untuk tukar fungsi dan penyewaan kuarters. Kuarters di SK Kampung Tenang, Segamat dan kuarters Institusi Pendidikan Endau, Mersing di bawah kategori syor

roboh dan pelaksanaan di bawah jangka masa panjang dan dijangka pelaksanaannya sehingga tahun 2035.

Yang Berhormat Datuk Speaker, TVET diperkenalkan bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global selari dengan aspirasi Maju Johor 2030. Selain itu, selaras dengan Johor - Singapore Special Economic Zone, skop TVET perlu berdasarkan standard dan kualiti pekerjaan yang diiktiraf dengan menekankan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan yang setanding dengan keperluan dan permintaan industri terkini dan yang bakal belabur serta bertapak di negeri Johor. Kerajaan negeri Johor yang juga merencana untuk mewujudkan Johor Skill Development Centre yang melibatkan pihak industri dan juga institut pendidikan negeri Johor supaya dapat memenuhi keperluan industri terutama di dalam JS-SEZ. Yang Berhormat ADUN Pemanis, Puteri Wangsa, Bukit Naning, Pekan Nanas dan Maharani telah menyuarakan isu berkenaan dengan bidang TVET di negeri Johor. Kerajaan negeri Johor sentiasa berusaha secara berterusan untuk memperkasakan sistem pendidikan vokasional bagi menyediakan kemahiran kepada generasi muda untuk menyokong keperluan industri tempatan. Pada masa kini, kerajaan negeri Johor sedang merancang bagi mengukuhkan Jawatankuasa Pemandu Modal Insan yang selari fungsinya dengan Jawatankuasa TVET iaitu bagi menyelaras semua program-program TVET di negeri Johor dari peringkat sekolah, pengajian tinggi, institusi kemahiran dan latihan serta kolej-kolej vokasional. Saya sendiri telah mengerakkan usaha-usaha untuk membuat pemetaan dalam kursus-kursus yang ditawarkan supaya ianya lebih berfokus dan sistematik selain benar-benar memenuhi keperluan semasa industri. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor termasuk saya, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Untuk Ahli Yang Berhormat, mulai tahun 2023 JPN Johor melalui kerjasama rakan strategik Yayasan Johor Corporation dan QSR Brands Holdings Sdn. Bhd. telah mengadakan menjalankan program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang menjalankan SLDN di sekolah menengah harian. Dalam konteks pemerkasaan bagi tujuan penyediaan tenaga kerja yang mahir, terdapat 40 buah sekolah menengah dalam negeri Johor menawarkan kursus kemahiran menerusi PVMA (Pendidikan Vokasional Menengah Atas) menerusi 11 program yang ditawarkan melibatkan 1,224 orang murid. Murid akan mendapat SPM dan SKM Tahap 2 pada akhir pengajian dalam pelbagai industri berkaitan vokasional, manakala murid MPV (Mata Pelajaran Vokasional) serta mereka mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Seterusnya Yang Berhormat ADUN Pemanis, Yang Berhormat Skudai ada mengutarakan kebimbangan berkenaan dengan isu keciciran pelajar dalam pembelajaran terutama kegagalan dalam menguasai kemahiran 3M. Mengikut data, kadar keciciran murid pada peringkat sekolah menengah adalah 0.2% pada tahun 2023. Kerajaan negeri Johor amat memandang serius kepada isu keciciran. Pelbagai langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kadar keciciran murid di sekolah. Kerajaan negeri Johor juga telah memperuntukkan hampir sebanyak RM300,000.00 pada tahun 2023 bagi melaksanakan program Baca Lab dengan kerjasama Educity Academy bagi membantu 700 murid tahap 1 dikalangan B40 yang tidak dapat menguasai membaca agar mereka diberi modul khas dan fokus untuk belajar teknik membaca.

Yang Berhormat Datuk Speaker, KPM telah menyediakan modul Serlahkan Keunggulan Diri iaitu (SUDI) sebagai panduan kepada sekolah untuk melaksanakan intervensi dalam

menangani isu murid berisiko tercicir. Yang Berhormat Puteri Wangsa ada mengutarakan cadangan program sarapan pagi percuma yang telah dihentikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada masa ini, kerajaan negeri Johor belum mempunyai cadangan untuk melaksanakan inisiatif tersebut di negeri ini sebaliknya program sedia ada iaitu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah pun dibuat penambahbaikan terhadap pelaksanaanya dan pada tahun 2022 ditambah dengan pemberian susu percuma setiap hari persekolahan.

Seterusnya saya akan menjawab isu yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar dan ADUN Gambir yang telah menyuarakan kebimbangan tentang infrastruktur dan kemudahan pendidikan bagi pembelajaran tentang ilmu teknologi tinggi dan penyediaan Smart TV. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, JPN bersama PPD negeri Johor telah mendapatkan maklum balas dan mengenal pasti sekolah-sekolah yang mempunyai Smart TV dan kekerapan penggunaannya. Dari data yang telah dianalisis, terdapat sejumlah 426 sekolah di negeri Johor yang dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu Smart TV, dengan purata kira-kira enam unit Smart TV per sekolah. Dari segi kekerapan penggunaan Smart TV pula, maklum balas yang diterima menunjukkan bahawa 62% sekolah menggunakan secara aktif iaitu lebih dari tiga kali seminggu. Kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofia Negeri Johor telah memperkenalkan inisiatif Kelas Bestari Bangsa Johor. Pelaksanan Kelas Bestari Bangsa Johor ini dijangka akan dapat meningkatkan keberkesanan sistem pengajaran dan pembelajaran secara interaktif, kreatif dan inovatif serta interaksi dua hala di antara guru dengan murid. Di samping itu, inisiatif pengaplikasian teknologi canggih smartboard ini turut menyokong aspirasi Pembelajaran Abad Ke-21 yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun 2023, sebanyak 30 buah sekolah telah menerima manfaat ini dan pada tahun ini juga sebanyak 30 buah sekolah lagi akan menerima inisiatif Kelas Bestari Bangsa Johor.

Yang Berhormat ADUN Kukup telah membangkitkan perkara mengenai isu tanah Yayasan Pelajaran Johor. Untuk makluman Yang Berhormat, bekas tapak Kolej Komuniti KPYPJ ini telah tidak beroperasi dan dibiarkan kosong sejak tahun 2000. Mesyuarat Lembaga Pengarah YPJ Holdings Sdn. Bhd. ke 54 pada 3 September 2018 telah meluluskan cadangan pembangunan 30 unit Rumah Kedai 2 Tingkat di atas tanah seluas 3.25 ekar di Lot 8010, Mukim Ayer Masin, Kukup, Pontian, Johor. Namun berdasarkan laporan Traffic Impact Assessment dan Road Safety Audit ke atas tapak, Jabatan Kerja Raya telah meminta penyerahan tanah 20 meter daripada sempadan jalan untuk tujuan pelebaran jalan. Oleh hal yang demikian, akibat syarat penyerahan tanah sebanyak 20 meter tersebut telah menyebabkan jumlah unit yang telah boleh dibina berkurangan kepada 18 unit sahaja berbanding 30 unit seterusnya cadangan pembangunan asal ini tidak lagi berdaya maju untuk dilaksanakan. Perkembangan projek dilaporkan dalam mesyuarat-mesyuarat JKTD Daerah Pontian yang dihadiri oleh wakil YPJ Multi-Bina Sdn. Bhd. Kali terakhir mesyuarat yang dihadiri oleh wakil YPJ Multi-Bina Sdn. Bhd. adalah pada penghujung 2023.

Yang Berhormat ADUN Pulai Sebatang dan ADUN Penawar telah membangkitkan perkara mengenai usaha menarik minat para pelajar untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik iaitu (STEM). Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2023 kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah melaksanakan Program Johor Young Dronengineers yang bermatlamatkan mempersiapkan anak muda Johor dalam industri berkemahiran tinggi melalui eksplorasi pengetahuan dan kemahiran seperti pengatucaraan, robotik, pencetakan 3D, analisis data, pemetaan, reka cipta dan inovasi. Sebanyak 12 buah Sekolah Aspirasi Johor di setiap daerah bagi menjadi showcase, kepada sekolah di daerah tersebut yang telah dibangunkan dengan TechnoMaker Lab sebagai pusat pembelajaran daya cipta. Manakala guru serta murid dibina keupayaan masing-masing dari segi kemahiran berkaitan teknologi dron dan kecerdasan pembuatan

Artificial Intelligence (AI) berkaitan dron dan robotik. Di bilik TechnoMaker Lab bagi setiap sekolah tersebut telah dilengkapi dengan 10 unit dron, 4 buah laptop, sebuah pencetak 3D, sebuah Smart TV dengan kos keseluruhan berjumlah RM303,000.00. Ianya dapat diberi manfaat untuk semua murid bagi menjalani aktiviti pembelajaran secara hands-on yang merentasi kurikulum STEM.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menjawab tentang isu yang paling banyak diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat iaitu isu pembinaan dan penyelenggaraan sekolah. kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan..

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat, tinggal 3 minit.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Saya cuba, Yang Berhormat Datuk Speaker, disebabkan inilah kali pertama menggulung saya mohon untuk diberikan masa tambahan Yang Berhormat. (Dewan bertepuk).

Speaker

Tak ada masa tambahan Yang Berhormat. 3 minit.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Baik, Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya teruskan penggulungan saya Yang Berhormat ADUN Kahang ada menyuarakan isu kebimbangan terhadap enam Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengambil maklum akan permohonan daripada pihak Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJKT Ladang Mados, SJKT Bukit Benut, SJKT Ladang Lambak dan SJKT Ladang Elias berhubung pemindahan tapak yang masih belum selesai lagi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, empat buah SJKT ini merupakan sebuah sekolah bantuan SBK yang menerima sumbangan modal dan sumbangan bantuan penuh, tetapi tidak disenggarakan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Oleh yang demikian, pihak LPS bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan pembinaan bangunan sekolah yang dimohon. Pihak LPS perlu membiayai sepenuhnya sebarang kos yang terlibat bagi proses perpindahan dan pembinaan bangunan sekolah di lokasi baharu. Untuk Ahli Yang Berhormat, setakat ini tiada peruntukan bagi KPM untuk menyediakan dana pemindahan, pembinaan bangunan serta penyediaan kelengkapan sekolah yang diperlukan untuk sekolah yang berstatus SBK. Namun diperingkat kerajaan negeri Johor sedia untuk membantu untuk memastikan perkara yang berlaku ini akan dapat diselesaikan.

Seterusnya isu tanah runtuh di SMK Bekok yang boleh membahayakan keselamatan pelajar yang diutarakan oleh YB ADUN Bekok. Kejadian cerun runtuh telah berlaku pada 5 Mac 2023. Oleh itu, pihak sekolah telah memasang pita keselamatan agar murid-murid tidak melalui kawasan tersebut. Kawasan cerun juga jauh dari bangunan pentadbiran dan blok PdP. Pihak JKR juga telah datang membuat pemeriksaan dan memberikan surat ulasan pemeriksaan bertarikh 13 Jun 2023. Pihak JPNJ juga telah menghantar permohonan dengan anggaran kos dari JKR sebanyak RM936,360.00 seterusnya ADUN Endau juga telah menyuarakan tentang masalah bangunan kayu yang daif di SMK Seri Mersing. Untuk makluman Yang Berhormat, permohonan peruntukan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mersing telah dihantar ke KPM dengan peruntukan berjumlah sebanyak RM500,000.00. Untuk kedua-dua sekolah ini pihak JPNJ akan sentiasa memantau status terkini permohonan dan keselamatan murid di sekolah ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Parit Yaani ada mengutarakan berkaitan pembinaan sekolah baharu di kasawan Bandar Putera Indah, Tongkak Pechah yang berlaku akibat kepadatan penduduk di kawasan itu. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan data JPN Johor pada April 2024, terdapat tiga sekolah rendah dalam jarak 4 kilometer di kawasan

sekitar Bandar Putra Indah. Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Seri Binjai, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahmat, Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) Tongkang Pechah. Kesemua sekolah tersebut masih lagi beroperasi secara satu sesi. Berdasarkan data kapasiti sekolah JPN Johor, sekolah kebangsaan sedia ada di kawasan Bandar Putra Indah masih berupaya untuk menampung keperluan dan penambahan enrolment murid. Walau bagaimanapun, bagi pelan jangka masa panjang, pihak JPN, melalui Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat sedang meneliti keperluan dan mengenalpasti cadangan awal tapak bagi pembinaan sebuah sekolah kebangsaan baru di kawasan tersebut.

Seterusnya isu telah diutarakan oleh Yang Berhormat Parit Raja. Yang Berhormat Parit Raja ada menyatakan isu permohonan penyelenggaraan SK Parit Raja, permohonan penyelenggaraan fizikal bangunan Parit Raja yang mengalami kerosakan teruk sehingga kini membahayakan warga sekolah. Dan, kini terdapat kawasan-kawasan yang masih ditutup oleh pihak JKR. Saya juga dimaklumkan permohonan ini masih di peringkat kelulusan oleh JKR. Pada masa terdekat saya akan turun padang sendiri melawat dan mempengerusikan mesyuarat bagi mengatasi masalah ini.

Seterusnya terhadap Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail yang berlaku kebakaran pada bulan Jun tahun lalu. Peruntukan sebanyak RM400,000.00 telah dikeluarkan dan tender bagi projek ini telah dikeluarkan pada 25 Februari 2024. Tarikh mula kerja pula adalah dijalankan pada 1 April 2024 yang lalu. Projek ini dijangka akan siap pada 15 Julai 2024.

Speaker

Yang Berhormat, masa tamat.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Akhirnya dalam usaha untuk membendung perkara ini daripada jadi barah, antara perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tentang penularan aktiviti ataupun penularan kegusaran terhadap berita tidak sahih. Ingin saya sampaikan di sini bahawa dalam, daripada menjadi barah kepada Bangsa Johor, kerajaan negeri Johor telah mengadakan pelbagai usaha untuk menangkis sebarang penularan berita palsu. Lebih-lebih lagi berita yang boleh menimbulkan persepsi negatif kepada negeri Johor. Antaranya ialah memperkasakan sistem penyampaian maklumat melalui Media Digital Johor. Selain itu, Media Digital Johor juga akan menyelaras penyampaian informasi yang lebih interaktif sesuai dengan trend terkini yang boleh dipercayai, sahih, tepat dan pantas terutamanya tentang negeri Johor. MDJ akan menjalankan pelbagai strategi untuk membentuk persepsi yang betul tentang perancangan dan pencapaian negeri Johor.

Akhir kata, saya begitu berbangga dengan semua Ahli Yang Berhormat kerana begitu peka dengan isu pendidikan dan penerangan. Ini semua Ahli-Ahli Yang Berhormat begitu cakna untuk memastikan anak-anak Bangsa Johor mendapat pendidikan yang berkualiti. Dan, saya mohon juga di kesempatan ini untuk menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh Ahli-Ahli Dewan ini untuk follow, like dan share semua platform Media Digital Johor. Sekian sahaja daripada saya, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Wabillahitaufikwalhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Saya nak tanya Yang Berhormat. Kita ada sambutan Hari Guru. Kenapa tak ada sambutan Hari Pensyarah? Boleh jawab tak. Kita ada sambutan Hari Guru, kenapa tidak ada sambutan Hari Pensyarah.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya akan cuba bangkitkan perkara ini kepada ke bahagian ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk Hari Pensyarah, Insya-Allah.

Speaker

Tak boleh jawablah tu. Dijemput, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi. 20 minit.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam Maju Johor. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya memulakan ucapan penggulungan saya pagi ini pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas perkenan dan rahmatnya Persidangan Dewan telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Saya amat yakin dan percaya di bawah kepimpinan dan pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor bahawa titah ucapan buat julung kali di Dewan yang mulia ini oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor akan disambut dan dilaksanakan dengan baik.

Patik juga ingin merafak sembah tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17 selama tempoh 5 tahun berkuatkuasa 31 Januari 2024 yang lalu. Patik berdoa kehadrat Allah S.W.T. semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh kerabat diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan seluruh rakyat Malaysia sekaliannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan uantuk mengucapkan terima kasih kepada semua Wakil-Wakil Rakyat yang membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan tanggungjawab dan portfolio saya. Bagi mencapai hasrat kerajaan Johor untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030, pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi pertimbangan utama. Pembangunan memerlukan strategi dan fokus, yang lebih utama ialah keazaman serta kesungguhan kepimpinan negeri bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kemajuan dan pembangunan yang ingin dicapai seharusnya dapat dirasai oleh rakyat dan Bangsa Johor. Dan syukur Alhamdulilah, kepimpinan melalui tauladan telah ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang bersungguh-sungguh dengan niat tidak lain tidak bukan hanya untuk memastikan rakyat Johor dapat menikmati kehidupan yang selesa serta turut merasai pembangunan dan kemajuan yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

Contoh keazaman tinggi yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ialah kehadiran beliau. Saya ingat lebih daripada 100 kali ke BSI dan juga KSAB semata-mata untuk menyelesaikan isu perjalanan pengunjung kedua-dua buah negara. Meskipun isu-isu berkaitan di BSI dan KSAB tidak sepenuhnya selesai, namun impak positifnya telah dapat dirasai. Setidak-tidaknya ia membuka mata banyak pihak khususnya pihak kerajaan persekutuan untuk turut bersama-sama turun padang menyelesaikan isu ini bersama. Ya, ada yang sinis, ada yang memandang serong. Tetapi saya yakin mereka yang sinis dan yang memandang serong usaha yang dilakukan ini hanyalah suara kecil berbanding sokongan rakyat terhadap usaha murni ini. Orang lenggeng membuat rakit, rakit dibuat kayu nyatoh, biarlah anjing menyalak bukit, bukit tetap tidaklah runtuh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyinggung isu berkaitan kesesakan di CIQ, kami mengalu-alukan semua cadangan-cadangan daripada semua Yang Berhormat, termasuk Yang Berhormat Stulang, Yang Berhormat Gambir dan Yang Berhormat Kempas. Bagi

melancarkan urusan di pintu masuk negara ini, pihak Imigresen akan mula menggunakan QR Code pada pertengahan Jun tahun ini dengan fasa percubaan kepada penumpang bas kilang. Cadangan bagi mewujudkan single border clearance pernah diangkat sebelum ini untuk dilaksanakan dalam Projek RTS. Namun begitu perbincangan panjang antara kedua-dua negara berkenaan isu ini menyebabkan sistem yang buat masa ini dipersetujui adalah Co-Location iaitu masih dua sistem clearance tapi di satu lokasi.

Memang terdapat projek untuk penambahan e-Gate di BSI dan KSAB iaitu sebanyak 26 unit manakala di KSAB, cadangan projek penggabungan dewan penumpang akan memberi penambahan 48 kaunter e-Gate lagi. Cadangan untuk membenarkan laluan masuk ke BSI bagi pejalan kaki merupakan cadangan yang baik. Ianya akan membantu menyelesaikan kesesakan di Jalan Jim Quee dan Jalan Tun Abdul Razak kerana mereka yang tinggal di sekitar CIQ ini lebih selesa berjalan kaki. Saya dimaklumkan bahawa cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Kementerian Dalam Negeri atas alasan keselamatan iaitu boleh mengakibatkan kebocoran meskipun pertemuan demi pertemuan dan perbincangan-perbincangan telah pun diadakan. Ya, benar kita tak boleh berkompromi dengan isu keselamatan tapi langkah-langkah tertentu boleh diambil bagi merealisasikan cadangan yang baik ini. Saya bercadang untuk mengadakan pembentangan lebih lanjut kepada pihak KDN supaya niat murni ini dapat direalisasikan. Tanggungjawab melancarkan trafik ini merupakan tanggungjawab bersama. Sebab itu Yang Amat Berhormat Menteri Besar sanggup memperuntukkan berjuta ringgit bagi beberapa projek seperti Contra-flow, pemasangan kipas dan sebagainya. Ini semua untuk siapa kalau bukan untuk rakyat dan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor semasa pembukaan Dewan tempoh hari ada melahirkan rasa dukacita berkenaan gangguan bekalan air yang dihadapi semasa musim perayaan yang lepas. Saya melihat isu ini secara menyeluruh berkenaan keupayaan operator air di negeri Johor memastikan bekalan air sentiasa berdaya harap bukan sahaja pada musim-musim tertentu tetapi sepanjang masa kerana ianya melibatkan urusan harian rakyat Johor serta menjadi penanda aras keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Benut, Seri Medan, Tangkak, Gambir, Bekok, Permas, Bukit Naning, Bentayan, Layang-Layang, Skudai, Tiram, Senai, Parit Raja, Kempas dan Yang Berhormat Sedili yang turut menyentuh isu-isu berkaitan bekalan air sama ada di kawasan masing-masing mahupun secara keseluruhan termasuklah isu paip lama, sistem bekalan air mentah serta tarif. Sebelum musim perayaan yang lalu, pihak Ranhill SAJ telah membentangkan kepada saya dan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar tentang lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku gangguan bekalan air termasuklah kawasan yang dijangka akan berlaku gangguan bekalan air semasa musim perayaan. Telah ada perancangan yang dibuat dan saya juga telah meminta pihak RSAJ untuk mengambil maklum lokasi-lokasi gangguan air yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat semua dalam Dewan ini.

Meskipun telah ada perancangan Yang Berhormat Datuk Speaker, dan langkah-langkah yang telah diambil, namun saya mengakui bahawa masih ada lagi kawasan yang terjejas semasa musim perayaan yang lalu. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah di kawasan Kluang apabila Empangan Sembrong menunjukkan bacaan paras air menurun dengan signifikan akibat kemarau. Untuk perkongsian Ahli-Ahli Yang Berhormat, Empangan Sembrong merupakan empangan di bawah JPS. Dan, fungsi asal empangan ini adalah untuk tebatan banjir semasa tengkujuh. Apabila fungsinya berubah daripada menahan air untuk sementara kepada simpanan air kekal untuk tujuan bekalan air, maka dalam tempoh yang lama air mentah dari empangan ini tidak mampu berada pada paras maksimum ditambah pula musim

kemarau yang saya nyatakan tadi. Alhamdulillah. Kerajaan Negeri Johor bekerjasama dengan semua pihak termasuk pihak operator telah berjaya mengoperasikan LRA Kahang, Loji Rawatan Air Kahang yang seterusnya dapat memberikan bekalan air yang mencukupi kepada penduduk Kluang. Projek penggantian paip lama yang turut disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat juga merupakan projek yang dipantau secara rapi oleh pihak kerajaan. Antara cabaran untuk penggantian paip-paip lama ini adalah terdapat paip-paip lama yang berada di lokasi yang telah padat serta kerja-kerja ini memakan kos yang tinggi. Dengan peruntukan serta keupayaan untuk mengganti paip hanya 250 kilometer setahun, hasrat untuk menukar keseluruhan 6,000 kilometer paip-paip lama ini merupakan satu cabaran yang besar. Ya, masih banyak lagi usaha yang perlu digembleng bagi memastikan keupayaan sistem bekalan air ini dapat dipertingkatkan dan Insya-Allah usaha-usaha ini akan diteruskan. Sebagai rekod untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, beberapa masalah air yang membelenggu rakyat selama bertahun-tahun telah dapat diselesaikan dengan jayanya. Antaranya di sebahagian besar kawasan Kota Tinggi, Parit Sulong, Kluang dan Segamat dalam tempoh 2 tahun ini. Kalau sudah menebuk gading, tebuk menjadi ukiran pekat, kalau sudah duduk berunding, elok dicari mata muafakat.

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat tak sebut pun tentang pembinaan tangki air baru di Rengit. Ada ke tak ada sebenarnya? Tak sebut tu macam tak adalah tu.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Ada, ada Yang Berhormat. Habis nanti saya masuk kalau cukup masa. Saya dah siapkan dokumennya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup...

Speaker

Bila tanya baru kata ada.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Ha, tulah. Patutnya kena tambah masa. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup, Yang Berhormat Seri Medan, Kahang, Kota Iskandar, Bukit Batu, Senggarang, Pemanis, Parit Yaani, Bukit Naning, Bentayan, Sungai Balang, Penggaram, Tiram, Pekan Nanas, Senai, Parit Raja, Mengkibol dan Yang Berhormat Kempas ada menyentuh berkenaan kondisi jalan raya sedia ada serta cadangan kerja-kerja menaik taraf, cadangan jalan-jalan baru, aduan punca-punca kesesakan seperti kerja pembaikan jalan, ini turut disentuh oleh Yang Berhormat Speaker, kenderaan lebih muatan hinggalah isu projek yang dijalankan tidak disiapkan mengikut jadual.

Kerajaan sentiasa cakna terhadap keperluan naik taraf pelebaran serta pembinaan baharu sama ada untuk mengatasi kesesakan, isu keselamatan ataupun untuk tujuan pembangunan. Cadangan Yang Berhormat Iskandar Puteri untuk menaik taraf jalan keseluruhan jajaran bermula daripada UTM sehingga ke Ulu Choh telah dimasukkan dalam permohonan kepada Kementerian Kerja Raya. Manakala, cadangan Yang Berhormat Bukit Naning turut telah diangkat sebagai top 5 projek keutamaan negeri dalam Rolling Plan ke-5 RMK Ke-12. Ini melibatkan hab perabot di Bakri.

Untuk makluman Ahli-Ahli Berhormat, isu yang sentiasa menjadi cabaran bagi pihak kerajaan ialah kekurangan anggota untuk tujuan kerja-kerja pemantauan. Pemantauan kualiti kerja, pemantauan pematuhan spesifikasi bahan, SOP, sehinggalah pemantauan tempoh siap sesebuah projek. Bagi mengatasi kekurangan ini, pihak kerajaan melantik perunding atau konsultan bagi mewakili kerajaan untuk memantau semua aspek yang disebutkan tadi. Namun begitu, isu-isu yang sama masih juga timbul. Mengambil contoh jambatan merentasi

Sungai Pulai dan jalan menghubungkan Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Tanjung Bin, mukim Air Masin dan Sungai Karang daerah Pontian yang beralun dan tidak selamat seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kukup. Ianya dibina oleh Seaport Worldwide dan masih berada dalam tanggungjawab mereka dan JKR telah memberikan tempoh waktu untuk mereka melakukan pembaikan sehingga Oktober 2024 sebelum diserahkan kepada pihak JKR.

Pihak pemaju juga telah diminta untuk menyediakan laporan mendapan dan pembaikan kekal bagi mengatasi masalah ini. Kepada Yang Berhormat Kukup, saya telah minta JKR pantau kualiti jalan ini dan sekiranya pihak kontraktor tidak melaksanakan kerja pembaikan, JKR akan mengambil tindakan. Kalau tak terjerang dengan pulut, terpaksa dikerang dengan empingan, kalau tak terlarang dengan mulut, terpaksa dilarang dengan tangan.

Oleh itu saya meminta pihak yang melaksanakan projek, lebih bertanggungjawab dan pihak kerajaan akan menyemak semula kontrak-kontrak yang berkaitan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang culas dengan tanggungjawab yang diamanahkan. Sebelum saya beralih ke topik lain, saya suka ingin berkongsi, bagaimana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Machap begitu bersemangat bagi memastikan projek-projek berimpak tinggi di negeri Johor yang telah menerima peruntukan kerajaan pusat dilaksanakan dan disiapkan segera. Sebagai contoh, projek pelebaran Highway PLUS Fasa 1, dari Senai Utara ke Sedenak bernilai RM525,000,000.00. Projek ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa Belanjawan pada tahun 2023. Semasa perbincangan awal, dimaklumkan bahawa kerja-kerja hanya akan bermula pada hujung tahun 2024 dan siap dalam tempoh 48 bulan iaitu hanya boleh digunakan pada Disember 2028 tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita begitu pro aktif. Yang Amat Berhormat begitu pro aktif, kita jumpa menteri, jumpa Perdana Menteri, kita runding demi runding, bengkel demi bengkel, perjumpaan demi perjumpaan, sehingga saya sendiri masuk dalam bengkel value assessment dan value engineering yang mana saya ingat tak pernah berlaku dalam sejarah, EXCO masuk dalam mesyuarat teknikal projek kerajaan pusat. Tujuannya apa? Untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya.

Alhamdulillah, akhirnya, bincang punya bincang Yang Berhormat Datuk Speaker, projek ini akan bermula pada Jun iaitu 6 bulan lebih awal dan siap dalam tempoh 36 bulan berbanding 48 bulan dan insya-Allah kita juga sedang berunding dengan pihak PLUS, LLM supaya projek ini tidak perlu disiapkan sepenuhnya baru boleh guna, kita siapkan 1 kilometer kita guna, kita siapkan 1 kilometer kita guna supaya impak positif itu dapat dirasai oleh awal.

Yang Berhormat Datuk Speaker dalam tempoh 2 tahun ini, 1,075 kawasan jalan raya yang rosak telah dibaiki dan tahun ini dijangka sebanyak 588 lagi lokasi pembaikan akan dibuat. Daripada 2,642 lokasi jalan rosak pada awal tahun 2022, dijangkakan selepas pembaikan dibuat tahun ini, lokasi jalan rosak di bawah 1,000 lokasi Yang Berhormat Datuk Speaker dan Insya-Allah, momentum ini telah pun dirasai oleh sesetengah kawasan antaranya kawasan Kota Tinggi, Mersing dan juga kawasan Lebuh Raya Pasir Gudang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bukit Batu, Panti, Pemanis, Puteri Wangsa, Sungai Balang, Parit Yaani, Bentayan, Penggaram, Pulai Sebatang, Parit Raja, Tiram, Mengkibol dan Yang Berhormat Johor Lama membangkitkan isu banjir termasuk banjir kilat yang berlaku di kawasan mereka disebabkan sistem perparitan dan saliran yang tidak di selenggara dan tidak dinaik taraf. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengenal pasti lokasi-lokasi atau hotspot

banjir ini. Telah ada perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta pecahan peruntukan yang diperlukan.

Saya telah mencadangkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan parit-parit ini tidak dibuat secara pukal. Bagi kawasan hotspot banjir, kerja-kerja penyelenggaraan mesti dibuat sekerap yang boleh berbanding kawasan yang bukan hotspot. Buat masa ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kita pukul rata, parit ataupun sungai hanya setahun sekali atau dua kali tetapi saya telah cadangkan kepada pihak kerajaan, BPENJ dan sebagainya, kita berunding semula dengan pihak-pihak yang telah mendapat konsesi kerajaan negeri supaya kita adakan reshuffle, cara ataupun tempoh masa untuk diadakan pembersihan saliran dan perparitan supaya dapat dikerapkan di kawasan yang kita kenal pasti sebagai hotspot banjir.

Koordinasi juga penting kerana kerja-kerja naik taraf ini perlu dilakukan secara menyeluruh, tak boleh sikit-sikit supaya tiada bottleneck akibat saiz parit atau saliran yang berbeza dan tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak. Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang merupakan projek jangka masa panjang serta berskala besar menjadi keutamaan negeri. 7 projek dengan peruntukan bernilai RM1,640,000,000.00 daripada kerajaan pusat dijangka akan membantu mengatasi masalah banjir di Segamat, Batu Pahat serta Kota Tinggi. Tiga daripadanya telah bermula dan saya sendiri telah turun padang berbincang dengan pihak JPS, perunding serta kontraktor. Alhamdulillah, sekali lagi hasil perbincangan serta rundingan projek RTB Bandar Batu Pahat yang pada mulanya dijangka siap Disember 2027 dapat diawalkan ke Disember 2026. Manakala projek RTB di Segamat dan RTB di Sungai Johor Fasa 1 Kota Tinggi dijadualkan awal 3 bulan berbanding tarikh siap asal Disember 2027.

Speaker

Yang Berhormat, masa tinggal satu minit.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Ada masa tambahan Datuk Speaker?

Speaker

Tak ada sebab tadi Rengit pun tak disebut.

Saya sebut Datuk Speaker, tak sebut kawasan tadi. Ok, tak apalah, tak apa. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat Pasir Raja ada menyentuh isu capaian telekomunikasi dan juga internet di kawasan masing-masing. Saya akan meminta pihak SKMM untuk menyemak aduan daripada Yang Berhormat. Kadang-kadang Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan itu ada talian ataupun rangkaian telekomunikasi ataupun internet tetapi pada Telco-Telco tertentu. Jadi, kita akan buat semakan kepada aduan yang dibuat oleh Yang Berhormat Sri Medan dan Pasir Raja.

Untuk makluman Yang Berhormat Bekok dan Yang Berhormat Endau, menara telekomunikasi yang dimaksudkan, dijangka akan mula beroperasi dalam tahun ini juga. Selepas semua isu khususnya berkaitan dengan permit operasi telah selesai beberapa minggu yang lepas. Yang Berhormat Johor Lama dan Yang Berhormat Tiram ada menyebut tentang bekalan elektrik yang terganggu di kawasan Yang Berhormat dan pihak TNB akan menyiasat aduan tersebut dan merujuk semula kepada Yang Berhormat bagi perancangan seterusnya. Saya juga bersetuju dengan cadangan Yang Berhormat Bentayan supaya bagi kemudahan asas seperti elektrik dan air, KPI perlulah diberikan sebagai penanda aras prestasi syarikat-syarikat utiliti ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon maaf sekiranya ucapan penggulungan saya ini tidak dapat menyentuh secara terperinci apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat semasa dalam sesi perbahasan. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan saya ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat dan Bangsa Johor agar dapat terus memberikan sokongan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan negeri ini bersama-sama. (Dewan bertepuk).

Dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, room was not built in a day, but they work on it everyday. Kejayaan kita dalam mencorak masa depan Johor adalah satu usaha bersama dan bukanlah usaha perseorangan dan perjalanan kita menuju ke arah itu adalah sudah boleh ditulis dengan tinta emas sebagai catatan peribadi yang indah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan yang terlibat dalam Persidangan kali ini. Saya sudahi ucapan saya dengan wabillahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati iaitu 12 orang daripada Pejabat ADUN kawasan Tanjung Surat. Ada ke? Boleh bangun tak? Ini dia penyokong YB Aznan. 10 orang daripada Majlis Belia Negeri Johor dan Pemuda UMNO iaitu daripada Pejabat ADUN kawasan Larkin dan 71 orang pelajar dan guru pengiring daripada Pejabat ADUN kawasan Semerah. Ini 2 bas ini. Kalau offer RM500.00, RM35,000.00 Yang Berhormat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullah dan salam Maju Johor. (Bacaan selawat).

Dewan yang mulia, saya mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan seribu kesyukuran pada Allah SWT yang memberikan nikmat dan rahmatnya ke atas kita semua. Surah Ibrahim Ayat 7, Allah dah pesan kepada kita, siapa yang bersyukur Allah tambah, siapa yang kufur nikmatnya pelik. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya seru semua yang ada dalam Dewan untuk kita menambahkan kesyukuran kepada Allah S.W.T.

Patik rafakkan sembah junjung kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Patik mendoakan Tunku Pemangku Sultan Johor dan Kerabat DiRaja Johor sentiasa dilindungi Allah S.W.T.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Dewan ini diserikan dengan ucapan tahniah dan penghargaan berkenaan tentang hebatnya Johor bagi projek Johor – Singapore Special Economic Zone dan Insya-Allah penggulungan saya pada hari ini juga ingin menyelitkan betapa Islam juga wajar ditampilkan dalam Special Economic Zone tersebut. Dan ia nampaknya masih belum nampak diperkasakan oleh mana-mana pihak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya saya menyahut pandangan daripada Yang Berhormat Tenang, tentang elaun imam, bilal negeri Johor dan YB Tenang telah membandingkan 3 negeri, Johor, Selangor dan Pahang. Tetapi saya kena mengatakan kepada Dewan yang mulia berbanding 3 negeri ini, Johor lah negeri yang paling banyak

jumlah masjid, surau dan Johor lah satu-satunya negeri Yang Berhormat Datuk Speaker, yang mengelaunkan bukan sahaja masjid bahkan surau. Selangor, Pahang dia cuma bagi pada masjid sahaja tetapi Johor nah ni dia sampai ke surau, hujung kampung pergi cari dan beri elaun. Benarnya elaunnya tidak besar Yang Berhormat Datuk Speaker, tetapi ia disifatkan sebagai menghargai peranan imam dan bilal tersebut. Cuma saya hendak bagitahu Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah isu pengurusan pembayaran elaun itu memang ada masalah dan saya berikan penegasan Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa RM5,150,000.00 setahun yang negeri salurkan kepada Imam, Bilal Johor, Noja Negeri Johor, sepatutnya disalurkan tepat kepada penerima sasarannya. Dan, saya beri jaminan Yang Berhormat Datuk Speaker menjelang Julai 2024 ini semua isu pembayaran dan tauliah imam, bilal, noja seluruh Johor akan selesai 100% Insya-Allah. (Dewan bertepuk). Apa caranya Yang Berhormat Datuk Speaker, bukan sahaja kita dah panggil semua imam daerah, saya dah panggil penggerak masjid, surau, tetapi juga Yang Berhormat Datuk Speaker kita juga dalam keadaan kita belum mampu menaikkan elaun imam, bilal pada waktu ini Yang Berhormat Datuk Speaker dua kali dah kita suarakan dalam Belanjawan Negeri Johor 2022, 2023 tetapi masih belum dapat kelulusan. Yang Berhormat Datuk Speaker tidak semestinya itu bermaksud kita jaga imam, bilal. Apa yang negeri imbalkan Yang Berhormat Datuk Speaker? Tahun ini Yang Berhormat Datuk Speaker bukan sahaja Imam, Bilal, Noja kita dapat caruman PERKESO itu yang pertama. Kemudian Yang Berhormat Datuk Speaker, semua imam, bilal kita yang telah pun berdaftar dan bertauliah diberikan one-off RM500.00 dan dapat kepada 4,536 orang pegawai masjid, surau seluruh negeri Johor. Dan, bagi masjid kerajaan Yang Berhormat Datuk Speaker JAKIM pula tambah one-offnya RM700.00 memang hari itu mereka raya betul-betul. Tambahan daripada JAKIM. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya beri jaminan pengurusan elaun Bilal, Noja, Imam akan selesai Julai 2024. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada satu firman Allah S.W.T. yang mengarahkan kita supaya menjaga imam, bilal ini. Ayat Fussilat, surah Fussilat ayat 33 Allah sebut (bacaan surah). Ayat itu Yang Berhormat Datuk Speaker, tafsiran ada mengatakan orang yang mengajak kepada Allah ini antaranya adalah muazim, maka muazim ini mesti jaga kebajikannya dan saya beri komitmen kebajikan mereka akan lebih terpelihara selepas ini. YB Kukup bertanya tentang balai cerap di Pantai Rambah, ini adalah hasrat yang ditinggalkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita terdahulu Dato’ Ir Hasni. Yang Berhormat Datuk Speaker saya hendak beri penegasan kepada YB Kukup, jangan risau YB Kukup hasrat bagi membina sebuah balai cerap pertama negeri Johor akan dilaksanakan bila mana Pejabat Menteri Besar telah pun menyalurkan RM2,000,000.00 bagi maksud pengambilan tanah di tempat itu. Insya Allah balai cerap pertama negeri Johor akan berada di dalam DUN Kukup. Kota Iskandar ada menyuarakan tentang kepadatan isu sekolah agama khusus di Sekolah Agama Taman Pulai Indah sampai YB Datuk Pandak ada sebut tadi, 2 hari lepas bahawa para pelajar terpaksa belajar di koridor sekolah. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya kena ambil pendirian pernyataan YB Kota Iskandar kurang tepat. Saya dah meneliti dan berjumpa dengan Pejabat Pendidikan Islam Daerah, saya dah panggil Guru Besar nya, tidak ada pun para pelajar yang belajar di koridor, tidak ada. Kepadatannya diakui sebab sekolah itu ada pelajar lebih kurang 1,435 tetapi tak ada seorang pun pelajar yang belajar dikoridor. Bahkan Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Agama Islam telah pun meluluskan penambahan 2 kabin yang ada kemudahan kelas kepada para pelajar yang akan digunakan tak lama lagi. Jadi, saya kena betulkan fakta itu supaya lebih jelas dan tidak mengelirukan masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Speaker kemudiannya adalah YB Panti sebut tentang cadangan Tadika Agama Johor diperluaskan. Saya setuju, sebab apa Yang Berhormat Datuk Speaker, ini kena terima kasih kepada kerajaan Johor. Tadika Agama Johor ini tuan-tuan yuran tahunan dia RM58.50 tunai. RM20.00 sebulan bayar untuk makan sahaja. Tetapi tuan-tuan permintaan tinggi Yang Berhormat Datuk Speaker, anak orang Johor ini sekarang bagus. Orang Johor ini,

Bangsa Johor subur. Ini bagus kena ditambah lagi kesuburan sebab Nabi Muhammad S.A.W. dia akan berbangga dengan umatnya yang ramai pada akhir zaman. Tetapi sebab hendak bagitahu sekolah agama kita yang ada kemudahan Tadika Agama Johor ini belum banyak. Setakat ini tuan-tuan kita baru ada penambahan untuk 2024 ini untuk 4 buah sekolah tambahan ini di Sekolah Agama Bakar Batu, Johor Bahru, Sekolah Agama Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Sekolah Agama Taman Pulai Emas, Kulai dan Sekolah Agama Sedenak. Menjadikan keseluruhannya 205 Tadika Agama Johor akan memberi manfaat kepada 7,240 orang kanak-kanak dari umur 6 sampai 5 tahun. Saya komited Yang Berhormat Datuk Speaker untuk berusaha menambahkan bilangan TAJ ini pada tahun-tahun yang akan datang.

YB Senggarang ada sebutkan empat persoalan dalam pembahasan beliau. Pertama, sukatan mata pelajaran darjah khas yang di dakwa terlalu tinggi, peruntukan bangunan sendiri bagi Maahad Tahfiz Negeri Johor. Penempatan pelajar dulu MARSAH sekarang KUIJSI namanya dibangunan sendiri dan saranan untuk menempatkan latihan perguruan kepada calon-calon guru sekolah agama di KUIJSI berbanding di institusi pengajian tinggi, UTM dan sebagainya. Persoalan pertama Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Senggarang tanya pasal katanya silibus darjah khas kita terlalu tinggi. Yang Berhormat Datuk Speaker, silibus ini telah pun diluluskan sejak tahun 2022. Kita dah tengok keperluannya dan sesuai selepas panel dan lembaga meluluskan silibus ini. Apa buktinya Yang Berhormat Datuk Speaker, buktinya 2023 keputusan sijil Darjah Khas Agama meningkat Yang Berhormat Datuk Speaker kelulusannya meningkat berbanding tahun 2022. Dan, kita yakin dan percaya Yang Berhormat Datuk Speaker, bahkan pelajaran Tauhid yang dikatakan amat susah sebenarnya tahun ini menunjukkan peningkatan peratusan berbanding 2022 dengan peningkatan kelulusan yang lebih baik. Maka saya pasti Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor ini memang kita level tinggi, tapi kita pastikan kaedah hendak mencapai pencapaian yang lebih baik, kita usahakan.

Yang Berhormat Berhormat Maahad Tahfiz ini betul dia berkongsi dengan Maahad Johor. Dua sekolah guna 1 bangunan, namanya gunasama. Apakah kaedah naik tarafnya Datuk Speaker saya kena sahkan di sini bahawa kerajaan Johor telah pun meluluskan satu projek Maahad Tahfiz Sains Antarabangsa yang merupakan penambah naik, naik taraf kepada Maahad Tahfiz sedia ada dengan pembangunan RM30,000,000.00 yang ditanggung oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, lokasinya di mukim Tebrau, Johor Bahru. Lawatan tapak JKR pun telah dibuat 7 Februari yang lepas dan inilah jawapan kepada naik taraf Maahad Tahfiz Negeri Johor, terus naik sebagai Maahad Tahfiz Sains Antarabangsa. Bagi Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) tentang bangunannya Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun ada perancangan bagi membangunkan bangunan baharu setinggi 10-12 tingkat di kampus Jalan Heman, Kampung Aman merangkupi pejabat Canselori, surau, perpustakaan, pejabat-pejabat utama, dewan dan bilik kuliah, makmal serta prasarana-prasarana lain yang telah pun dimajukan kepada Bahagian Pembangunan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk kelulusan. Insya-Allah YB Senggarang ini juga akan dilaksanakan. Kemudian YB Senggarang juga mencadangkan agar latihan perguruan di tempatkan di KUIJSI berbanding di IPTA lain. Saya kena menjawab Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga kini belum ada ijazah tersebut yang ditawarkan di KUIJSI setakat ini hanya ada program Diploma Pendidikan sahaja bagi lepasan SPM dan belum ada pun program ijazah perguruan seperti yang dihasratkan. Namun saya ambil kira cadangan ini sebagai cadangan penambah baikan pada masa akan datang yang baik.

Yang Berhormat Layang-Layang menyarankan agar kadar had kifayah asnaf dan bantuan pendidikan bagi pelajar ditambah bagi pelajar yang belajar di luar negara. Datuk Speaker, saya sahkan sekarang mata wang kita rendah Yang Berhormat Datuk Speaker, pelajar di Mesir dan Jordan khususnya terkesan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab

pertanyaan YB Layang-Layang ini bahawa Majlis Agama Islam Negeri Johor telah pun mengadakan kajian semula bagi meningkatkan semula had kifayah ini garis panduan kadar kecukupan asnaf yang merangkumi asnaf kita termasuk nanti pelajarnya. Yang Berhormat Datuk Speaker tak lama lagi kadar bayaran bulanan asnaf pun akan ditingkatkan. Barang naik, duit turun contohnya ekonomi kurang stabil, MAIJ pun sedar, kajian tengah buat nanti saraan bulanan ini pun akan ditambah kepada fakir miskin kita, termasuk pelajar. Yang BerhormatDatuk Speaker, pelajar yang di timur tengah daripada RM6,000.00 di Mesir, naik RM9,000.00. Dari RM8,000.00 Yang Berhormat Datuk Speaker di Jordan naik RM12,000.00, ini pun tanggungan MAIJ juga. Kita nampak keperluannya untuk meningkatkan perbelanjaan anak-anak kita di luar negeri bagi yang berpendidikan Islam. Yang Berhormat Datuk Speaker, itu jawapan saya selesai 12 minit. Saya ada masa sikit bagi menggulung perbahasan saya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita gembira bila negeri Johor bukan sahaja ingin maju 2030, soal infranya. Kita hendak maju soal keharmoniannya di bawah portfolio saya. Yang Berhormat Datuk Speaker, surah al-Haj ayat 32 Allah sebut (bacaan surah). Yang Berhormat Datuk Speaker, Allah perintah kepada siapa yang memperbesarkan syiar Allah, syiar agama hatinya itu ada takwa. Maka kami bertekad menjadikan Kerajaan Johor penggal ini antara kerajaan yang benar-benar mempamerkan syiar agamanya bukan sahaja cakap tetapi kita bikin Yang Berhormat Datuk Speaker. Negeri Johor mungkin tidak ada gelaran sebagai serambi Yang Berhormat Datuk Speaker, mahupun koridor, mana-mana tanah suci tetapi saya hendak bagitahu negeri Johor lah negeri yang layak untuk terus mempamerkan syiar Allah sebab kita telah buat dan akan terus laksanakan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Semarak Subuh memberikan satu fenomena yang tak terduga, sehingga ini 169,163 secara berdaftar dikumpulkan hasil kerjasama semua YB-YB dalam Dewan ini. Maka hendak sebut inilah kekuatan kerajaan kita. Walaupun kita tidak dilihat secara fizikalnya mungkin, tetapi kita pelaksanaannya untuk syiar tidak pernah berhenti Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, program semarak subuh akan diperkasakan. Semua cadangan YB-YB untuk dinaikan bantuannya Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun saya bisik-bisikan dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Dan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita doalah hari Ahad nanti ada berita gembira untuk kita semua. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, baik pulih rumah, saya dah sebut sebelum ini. Saya hendak nyatakan lagi, betapa kita menyahut seruan dan titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor supaya 2025 basmi teruslah miskin tegar. Rupanya Yang Berhormat Datuk Speaker ada caranya. Bila mana saya dan juga YB Khairin diletakkan sebagai Pengerusi Bersama Penghapusan Miskin Tegar, maka kaedahnya sampai semalam petang data miskin tegar negeri Johor menunjukan penurunan yang sangat rendah. Yang sangat sikit tinggal nilainya miskin tegar ini. Caranya Yang Berhormat Datuk Speaker, semua pihak gotong royong turun cari orang miskin, cara sebelum ini orang miskin kena mohon dengan kerajaan. Penggal Maju Johor kerajaan turun mencari rakyat siapa yang susah untuk kita bantu dan kita berikan sokongan bulanan. Yang Berhormat Datuk Speaker, rumah pun kita bantu. Rumah baru pun ADUN dapat kuotanya, sebahagian tempat melalui penyelarasnya. Maka Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon Dewan yang mulia gunakan peluang ini, bantulah kita perkasakan hasrat Menteri Besar untuk memastikan semua rakyat Johor terima bantuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di Special Economic Zone saya mohon dan bahkan saya ambil tanggungjawab ini untuk satu kawasan zon ekonomi halal, mestilah diperkasakan dalam Special Economic Zone ini. Saya lihat dah dua tiga kali pembentangan pihak kerajaan pusat dan negeri halal ini macam tertinggal. Tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tidak suka orang buat kerja, saya suruh orang buat, saya sebut saya buat. Di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Bahagian Halal kami telah menggerakan dengan HDC, Halal

Development Corporation di peringkat pusat supaya ada Halal Park yang benar-benar menikmati insentif sempena Special Economic Zone ini. Jangan tertinggal soal agama Yang Berhormat Datuk Speaker, mesti masuk dan kita mesti memperkasakan Special Economic Zone ini. Berapa jumlahnya, hasil bagi eksport dan import halal seluruh dunia Yang Berhormat Datuk Speaker, nilainya USD3,000,000,000,000.0. Mustahil Johor dan Singapura mengetepikan halal hub ini. Dan, saya mohon nanti bersama-sama dengan YB Lee masukkan jangan tertinggal soal ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selanjutnya saya mohon izin saya menyentuh isu kalimah Allah. Gempar kita bahawa ada satu syarikat penjualan stokin kalimah Allah. Berlaku di Selangor. Yang Berhormat Datuk Speaker, berlakunya di Selangor tapi gemparnya di Johor, kenapa? Sebab kilang yang didakwa melakukan kesalahan itu, saya sebut didakwa sebab masih di dalam proses mahkamah. Berada di Batu Pahat Yang Berhormat Datuk Speaker, saya pulak EXCO angkatnya. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalimah Allah bagi umat Islam kalimah tertinggi yang tidak boleh dipermainkan. Kami tidak tegar membenarkan kalimah mulia ini disalahgunakan. Maka kita gembira kepada tindakan tegas yang telah pun diambil oleh PDRM dan semua pihak berkuasa bagi maksud pengajaran ini. Dia perlu menjadikan satu iktibar kepada seluruh negeri agar agama Islam sebagai agama persekutuan, agama islam sebagai agama rasmi Negeri Johor kekal di martabat dan dijaga dengan baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selanjutnya saya meminta supaya Dewan yang mulia juga melihat kepada isu kasino. Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dah sebut dan bahkan kita sangat lega. Yang Berhormat Datuk Speaker orang kita ini biasanya suka dengar cerita gempar cepat percaya. Kita kasino, PM Sepuluh dah kata tidak pun dia orang tak nak percaya. Menteri Besar pun dah sebut secara rasmi. Media pun orang tak dengar. Saya pusing seluruh negeri Yang Berhormat Datuk Speaker, tanya jemaah surau, masjid, pertemuan mereka kata mereka dengan cerita kasino di Johor. Tapi, bila mana Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar menyebutnya di dalam Dewan yang mulia ini, saya nampak kesannya lebih berganda Yang Berhormat Datuk Speaker. Bila Dewan yang mulia ini mengesahkan bahawa memang tidak akan berlaku pembinaan kasino di negeri Johor Darul Ta’zim. Tuan-tuan saya gembira bahawa inilah kesungguhan kerajaan dalam melihat dan memperkasakan agama kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan untuk akhirnya, saya nak sebut Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa buat baik ni kena buat sama-sama. Jangan hanya tinggal pada kerajaan. Kita kena buat sama-sama Yang Berhormat Datuk Speaker, miskin tegar kenapa Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar minta Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Majlis pun kena cari orang susah. Sebab ini tanggungjawab bersama. Kita kena cari dan bantu mereka berbanding cara sebelum ni mereka datang kepada kita. Yang Berhormat Datuk Speaker, nak cara buat baik jangan susah sebab Allah dah sebut melalui Nabi Muhammad S.A.W., siapa buat baik dia mulakan, nanti kebaikan tu bila orang teruskan kita yang mulakan nanti akan dapat kebajikan, jariah yang berpanjangan. Apa nabi pesan, nabi pesan Insya-Allah (bacaan hadis). Siapa mulakan satu kebaikan, orang lain mulakan (bacaan hadis). Baginya kebajikan orang yang terus melaksanakan. Jadi wakil rakyat jangan berhenti bila mana kalau agak-agak kita dah keluar dari miskin tegar. Sahut cadangan Menteri Besar, terus cari anak watan kita yang susah. Bantu sebab saya boleh sahkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor, peruntukannya terlalu besar untuk kita nafikan. Dan, Insya-Allah kita akan terus menyokong agenda basmi kemiskinan, basmi miskin tegar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya saya nak melancarkan kempen di bawah MAIJ dan 5 portfolio di bawah saya; Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman dan Jabatan Pendakwaan. Kelima-lima portfolio di bawah saya ini, saya dengan ini lancarkan satu Kempen Jihad Basmi Kemiskinan besar-besaran. Saya menggerakkan

semua kekuatan perjawatan di bawah portfolio saya untuk mencari orang susah dan dibantu mereka bagi maksud meraikan hasrat Menteri Besar apatah lagi titah daripada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor. 20 minit 3 saat, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 20 minit.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Mudik ke muara mencari tinta, singgah ke teluk sambil berangan, assalamualaikum pembuka kata, EXCO sembah ucapan penggulungan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bicara saya merakamkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana sekali lagi diberikan kesempatan peluang bersama Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor yang lain bagi menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Patik juga ingin merafak sembah, menjunjung tinggi, setinggi-tinggi kasih dan ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berkenan berangkat menyempurnakan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 9 Mei yang lalu. Selaku EXCO Belia dan Sukan, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah ucapan perasmian oleh Kebawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor pada Khamis lalu yang mengambil berat soal pembangunan belia di mana Baginda mahukan inisiatif-inisiatif baru yang lebih proaktif bagi membantu mempersiapkan golongan belia di Johor menghadapi cabaran masa depan. Insya-Allah, patik akan bekerja keras dan memastikan lebih banyak inisiatif baru, segar yang lebih proaktif dilaksanakan khususnya dalam aspek pembangunan belia di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syabas dan tahniah juga kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan Timbalan Speaker, menjalankan tanggungjawab dengan lancar dan baik. Syabas dan tahniah daripada saya. Di kesempatan ini juga selaku EXCO Belia dan Sukan, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara kepada semua 2 juta belia-belia Orang Muda Johor. Hari Belia Negara yang disambut semalam merupakan sambutan kali ke-60 sejak disambut buat pertama kalinya pada tahun 1964. Insya-Allah kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor meletakkan komitmen dan usaha-usaha yang berterusan demi kecemerlangan generasi belia sebagai rakan pembangunan negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, guru, dalam ajarnya ada harapan, dalam tegurannya ada doa, dalam marahnya ada sayang, dalam diamnya ada kebijaksanaan, dalam tangannya ada sahsiah terbina. Di kesempatan ini juga saya selaku bekas pelajar dan insan yang masih terus menuntut ilmu ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik khususnya di negeri Johor. Terima kasih Cikgu. Teruskan, teruskan memberi inspirasi kepada anak bangsa dan memberikan pendidikan yang terbaik untuk semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi persidangan kali ini, selain isu elektrik, jalan raya perumahan, banjir yang banyak diperkatakan Ahli-Ahli Yang Berhormat ketika sesi perbahasan, terdapat juga pelbagai maklum balas yang berkaitan dengan portfolio saya yang diberikan. Sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahupun teguran yang

dilontarkan oleh pihak pengimbang kerajaan mahupun rakan-rakan saya di pihak kerajaan dan semuanya telah saya ambil maklum.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Lama, yang sentiasa cakna dan mengambil berat dengan peranan belia khususnya belia-belia di kawasan kampung dan tanah rancangan FELDA. Yang Berhormat Johor Lama menyatakan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri Johor memperkasakan peranan belia dalam apa juga kepimpinan di peringkat kampung atau pun di peringkat daerah. Untuk makluman Yang Berhormat Johor Lama, kerajaan negeri Johor tidak pernah membezakan pembangunan belia di segenap peringkat di kawasan. Malah, saya juga beberapa kali mengingatkan ketua-ketua Jabatan di bawah saya untuk menekankan soal perancangan dan pembangunan yang menyeluruh. Maksud menyeluruh di sini ialah perancangan yang membabitkan kawasan pendalaman, kampung pinggir bandar iaitu sub urban, dengan izin atau bandar urban, dengan izin juga. Ketiga-tiga geografi populasinya memiliki keperluan. Pendekatan dan juga cara penyelesaiannya amat berbeza termasuk dalam soal pembangunan belia. Menjawab kepada pertanyaan Johor Lama mengenai Majlis Belia FELDA di negeri Johor ini. Tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan geran berjumlah RM365,000.00 untuk semua 73 pergerakan MBFM di Johor iaitu di wilayah Segamat mahupun di wilayah Johor Bahru. Ini menyaksikan setiap gugusan MBFM menerima RM5,000.00 bagi tujuan pengurusan pentadbiran dan juga perlaksanaan program-program. Alhamdulillah penyampaian sumbangan geran itu disempurnakan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ketika Karnival Segalanya FELDA yang berlangsung di FELDA Pemanis pada 28 April yang lalu.

Justeru dengan peruntukan yang ada saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat di kawasan memiliki tanah rancangan FELDA bolehlah menjalinkan kerjasama dan berkenal-kenalan dengan Gerakan MBFM di setiap gugusan. Dan begitu juga dengan kepimpinan MBFM di negeri Johor. Kenal-kenallah dan kerap-keraplah menjalankan program bersama wakil-wakil rakyat di kawasan anda. Sekarang bukannya masa untuk kita berkerja secara silo, dengan izin. Cara kerja sekarang tidak seperti dahulu, Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dan, kerjasama inilah menjadi kekuatan kita merealisasikan Agenda Johor Maju 2030. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan juga membangkitkan soal pembangunan belia menjelang 2030 yang bakal menyaksikan populasi belia. Yang Berhormat Seri Medan juga bertanyakan adakah Johor bersedia dan bagaimanakah kajian yang perlu dibuat sebagaimana indeks belia Johor yang pernah dibuat oleh Yang Berhormat Sri Medan sebelum ini dan soal membangunkan belia-belia selari dengan apa yang mereka inginkan.

Untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan, ia sebelum ini ketika Yang Berhormat selaku EXCO Belia dan Sukan ketika itu memang sedia maklum Johor memiliki indeks belia yang dibukukan. Selaku EXCO Belia dan Sukan hari ini saya menekankan soal pembangunan belia tempoh jangka panjang dan sehubungan itu juga tahun ini Yang Berhormat Sri Medan bermulalah siri Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor yang akan diadakan di semua 10 daerah. (Dewan bertepuk). Objektif penganjuran Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor ini adalah mengenalpasti apakah aspirasi belia dan apakah keinginan yang menjadi keutamaan setiap belia mengikut kawasan. Sebagaimana yang saya katakan tadi, keperluan setiap belia di kawasan-kawasan pendalaman, pinggir bandar, luar bandar serta bandar semuanya berbeza. Insya-Allah Yang Berhormat selesai 10 siri Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor ini, pihak Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Sukan, Belia dan Sukarelawan akan mengumpulkan serta membukukan semua aspirasi belia-belia ini dijadikan rujukan bagi membina satu pelan pembangunan Orang Muda dan komprehensif serta menyeluruh, Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Parit Yaani yang mencadangkan agar mewujudkan penggerak belia atau penggerak Rakan Muda di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk makluman Yang Berhormat Parit Yaani, buat masa ini Kementerian Belia dan Sukan tiada lagi rancangan untuk mewujudkan penggerak belia atau penggerak rakan muda di setiap kawasan DUN. Meskipun ia pernah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini, walau bagaimanapun Yang Berhormat yang merupakan satu cadangan yang cukup oleh Parit Yaani dan selaku EXCO Belia dan Sukan, pandangan ini akan saya suarakan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar agar di Johor ini perlu adakan satu gerakan bersama-sama dengan belia dan Ahli-Ahli Dewan Undangan.

Ahli Yang Berhormat-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kemelah juga dalam perbahasannya ada membangkitkan soal pembinaan mini stadium di dalam daerah Segamat dan keperluan fasiliti untuk memberi lebih tarikan kepada generasi belia untuk melakukan riadah. Untuk makluman Yang Berhormat Kemelah, sebagaimana jawapan saya terhadap Yang Berhormat Gambir sebelum ini, isu pembinaan stadium atau mini stadium merupakan satu isu sekian lama berlaku, kosnya agak tinggi, memahami ada projek yang mengambil masa yang lama untuk diselesaikan atas sebab itulah Kerajaan Negeri Johor mengambil inisiatif dan alternatif mewujudkan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre sebagai satu hub ataupun kemudahan yang serba lengkap. Untuk daerah Segamat sememangnya perancangan pembinaan TMIYC sedang giat dilaksanakan Yang Berhormat. Saya bersama dengan BPENJ, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Belia, Sukan dan Sukarelawan serta Pejabat Daerah mengenal, akan mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan ini. Pihak Yang Berhormat Kemelah juga, saya akan pastikan dijemput dan dilibatkan sama dalam perbincangan ini nanti.

Yang Berhormat Panti meminta proses pendaftaran perniagaan bagi menjalankan perniagaan kecil dapat diminimumkan selain dipermudahkan inisiatif bantuan perniagaan khususnya kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan. Yang Berhormat Panti juga memberi cadangan inisiatif khas untuk perniagaan baru tanpa syarat, yang banyak seperti hanya usahawan yang sudah menjalankan perniagaan lebih enam bulan atau setahun sahaja layak memohon.

Untuk makluman Yang Berhormat Panti, inisiatif dalam meletakkan syarat dalam menjalankan perniagaan dalam tempoh enam bulan adalah bersesuaian. Kerana sesebuah aktiviti perniagaan yang dijalankan dalam tempoh enam bulan secara normalnya kita dapat melihat sejauh manakah kekuatan modal atau keadaan kewangan satu-satu perniagaan tersebut diuji dalam tempoh itu. Akan tetapi, akan tetapi, kelonggaran syarat juga boleh berubah mengikut kesesuaian inisiatif tersebut memadai sekiranya jika melihat keutuhan perniagaan tersebut itu diubah daripada enam bulan kepada tiga bulan, tempoh masa untuk memastikan aktiviti perniagaan tersebut dapat dijalankan dengan baik dan selaras dengan hasrat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 menerusi Teras Strategik Lima iaitu Memantapkan Keupayaan dan Prestasi Mikro Kecil dan Sederhana. Teras ini menggariskan strategik E3 iaitu menyediakan bantuan bersasar kepada access pasaran terutama kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana bumiputera selain memudah cara pematuhan perundangan dan persijilan akreditasi atau bantuan perusahaan mikro kecil dan sederhana.

Yang Berhormat Datuk Speaker, makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, selaku EXCO Pembangunan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya amat komited dan memastikan bukan sahaja agensi Perbadanan Usahawan (PUJB) tetapi 49 agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) terus bekerjasama dalam memastikan segenap lapisan usahawan-usahawan di negeri Johor ini dapat dibantu, insya-

Allah. Kerjasama antara semua agensi, negeri dan pusat di bawah MPUNJ ini sudah pun dibuktikan Yang Berhormat Datuk Speaker. Pada tahun lalu, Yang Berhormat Datuk Speaker apabila telah kita membelanjakan hampir RM400,000,000.00 iaitu RM394,000,000.00 termasuk Geran Koperasi Johor dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan, program-program serta latihan yang memanfaatkan seramai 24,448 usahawan-usahawan seluruh Johor. Malah, saya juga berharap mendapat kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menjayakan 9 inisiatif menerusi strategik kelima…

Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Yang Berhormat Datuk Speaker, minta maaf saya mencelah, kawasan saya ni bocor, kalau dia tak ada effect, kalau saya tak beritahu sekarang nanti bila dia dah kering susah nak detect.

Speaker

Ok, saya minta Pengurusan untuk tengok. Teruskan Yang Berhormat.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terbantut saya Yang Berhormat. Dah hilang mood dah. Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menjayakan 9 inisiatif menerusi strategik kelima di bawah Teras Pembangunan Ekonomi iaitu Pembangunan Usahawan melibatkan peruntukan berjumlah RM88,500,000.00 sepanjang tahun 2024 ini. Penutup, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulannya, kesimpulannya daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan kepada sesi Sidang Dewan akan soalan, perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Akhir sekali, sebagai EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua Jabatan-Jabatan dan pasukan yang berada di bawah portfolio saya dan terus bekerja keras, bertungkus lumus siang dan malam memastikan execution dengan izin, yang berkesan dapat dibuat di peringkat pelaksana.

Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, saya telah cuba yang terbaik memberi semua jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, Ahli-Ahli Yang Berhormat, pintu office saya terbuka luas, sekiranya terdapat perkara-perkara yang ingin dibangkitkan, saya mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Yang Berhormat. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan Insya-Allah. Merdu bertingkah alunan suara, kadang tak sedar tersilap kata, andai terlanjur patah bicara, serendah hati kemaafan dipinta. Dari Kedah ke Pekan Sari, beli suasa di Kota Tinggi, selesai sudah ucapan di pagi ini, di lain masa bersua lagi. Terima kasih. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat. Dan, oleh kerana Dewan pun dah bocor, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan disambung semula.

Selanjutnya dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Sejahtera, Salam Maju Johor. Terlebih dahulu izinkan patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusya bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Negeri Johor Ke-15. Patik juga merafak sembah tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Johor Darul Takzim yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun berkuatkuasa 31 Januari 2024 yang lalu.

Dan terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Iskandar, Gambir, Benut, Endau, Permas, Puteri Wangsa, Panti, Pemanis, Penawar, Kahang, Tiram dan sebagainya atas segala pandangan, saranan dan perhatian yang diberikan berkenaan dengan sektor pelaburan dan juga peluang pekerjaan di negeri Johor. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi negeri dan persekutuan iaitu BPENJ, Invest Johor, MITI, MIDA, IRDA, PBT-PBT, JPDC, JCorp, TNB, SAJ dan pihak-pihak yang berkaitan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Berkat usaha bersama kita telah berjaya mencatatkan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM43,050,000,000.00 pada tahun 2023 sepertimana yang dibentangkan dalam sesi soal jawab pada pagi ini. Kerjasama ini adalah kritikal dalam mempercepatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mengenai Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura, yang banyak mendapat perhatian daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga media antarabangsa dan juga domestik. Kita percaya inisiatif JS-SEZ bukan sahaja membuka bab baharu dalam kerjasama antara Johor dengan Singapura, tetapi ia juga merupakan inisiatif strategik kita untuk mempercepatkan pembangunan di zon khas ini dalam menghadapi situasi global, ekonomik global yang makin tidak menentu. Kelebihan pelengkap ataupun complimentary advantage Johor dan Singapura adalah jelas dan ia merupakan asas penubuhan zon ini supaya kita dapat mengukuhkan lagi hubungan dan ketersambungan perniagaan dan membina ekosistem perniagaan utama. Beberapa insentif utama penubuhan Zon Ekonomi Khas ini sebenarnya telah pun disenaraikan dalam penyata bersama Malaysia – Singapura pada 11 Januari 2024, termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan memudahkan pergerakan dua hala, proses pelepasan kargo secara digital, penyelarasan dan perkhidmatan pusat sehenti pelaburan, pelan latihan dan pembangunan bakat bersama, aktiviti promosi pelaburan besama dua hala dan sebagainya.

Dari segi sektor pelaburan, pembentukan JS-SEZ adalah berdasarkan serangkaian keputusan strategik yang matang dengan tujuan untuk mencipta sebuah lingkungan yang sangat menarik bagi pelabur domestik dan asing. Pelbagai siri perbincangan di peringkat negeri Johor dan juga di peringkat kebangsaan telah pun diadakan dan agensi-agensi terlibat telah menubuhkan lapan kumpulan kerja yang meliputi, pertama, hal ehwal tanah, insentif kemudahan pergerakan dua hala, kemudahan peniaga, insentif bakat dan tenaga kerja, infrastruktur dan utiliti serta tadbir urus, supaya cadangan ini dapat memanfaatkan negeri Johor dan Malaysia melalui inisiatif ini dapat dimasukkan dalam perjanjian dengan pihak Singapura.

Dalam perancangan Zon Ekonomi Khas ini, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil beberapa pendekatan, antaranya semangat hal ehwal khas perlu dikendalikan dengan cara khas yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di Dewan ini susulan lawatan

beliau ke Shenzhen pada bulan Mac yang lalu. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Johor telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya Invest Malaysia Facilitation Centre ditubuhkan di Johor sebagai pusat sehenti untuk mempecepatkan pelbagai proses kelulusan, menyediakan khidmat rundingan, nasihat dan mengurangkan birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam di Johor. IMFC Johor merupakan satu-satu pusat sehenti, agensi persekutuan di luar Kuala Lumpur dan merupakan juga satu-satu yang ada kerjasama khas dengan kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jabatan Imigresen Malaysia juga telah mengumumkan bahawa sedang melihat ke arah penggunaan kod respons pantas ataupun QR Code di beberapa pintu utama, masuk utama negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura ini.

Seterusnya, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kastam Singapura telah menandatangani Mutual Recognition Agreement For Alterise Economic Operator pada 18 Januari 2024 bagi melancarkan procedure perkastaman dan meningkatkan lagi fasilitasi perdagangan antara kedua-dua negara. Kami juga mengambil maklum cadangan daripada Yang Berhormat Benut yang telah banyak memberikan nasihat dalam perancangan polisi kerajaan negeri khususnya untuk JS-SEZ. Mengenai cadangan supaya Johor diberi kuota khas tenaga boleh diperbaharui MM2H, pengurusan air serta pegangan saham berkepentingan dalam syarikat-syarikat atau sektor-sektor strategik dalam Zon Ekonomi Khas, Kerajaaan Negeri Johor telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya badan ataupun agensi yang diamanahkan untuk mengerakkan inisiatif-inisiatif ataupun polisi-polisi khas di Zon Ekonomi Khas ini diberikan mandat terperinci dan bukan badan pengantara antara kerajaan negeri dan persekutuan sahaja. Keputusan tersebut sepatutnya, keputusan tertentu sepatutnya boleh dibuat oleh agensi tersebut tanpa perlu melalui proses birokrasi tambahan. Sebagai contoh, Iskandar Malaysia Ex-Partiate Service Center di pejabat IRDA di Bandar Sunway Iskandar Puteri telah pun dibuka pda 17 Mac 2024, di mana pihak IRDA telah diberi kuasa oleh Kementerian Dalam Negeri untuk memproses dan meluluskan pas pekerjaan ex-partiate untuk pelabur dalam lima sektor perkhidmatan yang dijalankan di kawasan Iskandar Malaysia. Kedua, kita akan berhati-hati dengan aktiviti spekulasi supaya bukan sektor hartanah yang mendapat manfaat sahaja. Ketiga, fokus akan diberikan kepada usaha untuk mengintegrasikan rantaian perindustrian dan bekalan sedia ada di Johor, Singapura dan antarabangsa secara mendalam untuk memberi manfaat secara langsung kepada pengusaha kecil dan sederhana serta rakyat jelata.

Kami juga telah mengenal pasti secara am sektor utama termasuk sektor elektrik dan elektronik, perubatan, farmasi, deco, aero angkasa, produk kimia khusus, logistik, pihak kesihatan, pendidikan, kewangan dan perkhidmatan perniagaan, tenaga boleh diperbaharui, ekonomik digital, pelancongan, pemprosesan makanan, industri kreatif, industri halal dan perkilangan moden dalam Zon Ekonomi Khas seperti mana yang dikongsikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar.

Sektor-sektor tersebut terpilih berdasarkan faktor-faktor yang disebutkan iaitu memastikan penglibatan komuniti perniagaan dan Bangsa Johor secara langsung dalam usaha ini. Pada masa yang sama, kita sedar bahawa pendekatan memandang ke hadapan ataupun forward looking approach juga adalah penting supaya Johor tidak ketinggalan dalam aliran arus perdana global seperti ekonomi digital, pembangunan mampan dan pelepasan karbon sifar bersih global, seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Benut. Oleh itu, kita juga perlu membuat persediaan secara awalan dan memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi dan penyelesaian untuk teknologi hadapan seperti ekonomi rendah karbon, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan atau pun artificial intelligence, pengkomputeran awan dan sebagainya. Dengan pembangunan sektor-sektor yang ditentukan, kita akan dapat

meningkatkan nilai tambah Johor dalam rantaian bekalan berkenaan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi dan sekali gus mengukuhkan struktur ekonomi Johor.

Berkaitan dengan peluang pekerjaan, pembangunan dan operasi JS-SEZ dijangka akan menghasilkan ribuan pekerjaan baharu, merangkumi pekerjaan di sektor pembinaan hingga keahlian teknikal tinggi dalam industri berteknologi tinggi. Sebagai persediaan awal, jawatankuasa ini telah memulakan gerak kerja untuk mewujudkan platform kerjasama industri kerajaan yang lebih erat, termasuk mengambil pendekatan Penang Skills Development Centre supaya kita dapat menyediakan latihan kemahiran yang dapat memenuhi keperluan industri serta sektor baharu yang bakal dibangunkan.

Mengenai kuota pekerja Johor dalam pembangunan SEZ and SFZ yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Puteri Wangsa serta pandangan-pandangan Ahli lain berkaitan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, dasar penggajian pekerja asing negara buat masa sekarang adalah bersifat sementara atau pun temporary labour import policy bagi memenuhi keperluan kepada permintaan dalam sektor tenaga kerja berkemahiran rendah dan intensif buruh. Ciri-ciri utama dasar sedia ada adalah seperti berikut, pertama, sistem kuota dan levi yang terperinci untuk kemasukan pekerja asing iaitu menetapkan negara sumber, 15 negara sumber dan juga sektor termasuk sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan kuari dan pekerjaan domestikyang dibenarkan. Dan yang ketiga, penggajian bersifat sementara iaitu selama 10 tahun + 3 tahun untuk sektor formal dan dua tahun kontrak permulaan untuk sektor tidak formal, menetapkan umur kemasukan ialah 18 tahun hingga 45 tahun sahaja, mewajibkan majikan mengiklankan kekosongan jawatan dalam portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs selama 30 hari untuk memberi peluang kepada pencari kerja tempatan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing dan mengenakan liabiliti yang ketat ke atas majikan bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan standard perburuhan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.

Namun, kita sedar bahawa dasar penggajian jangka pendek ini adalah sejajar dengan objektif untuk memenuhi keperluan segera tenaga kerja dalam negara sahaja dan bukanlah merupakan penyelesaian jangka masa panjang. Solusinya tetaplah kita perlu wujudkan peluang pekerjaan berkualiti, berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi seperti mana yang dikongsikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar tempoh hari. Fokus SEZ dan SFZ akan diberikan kepada pelaburan berkualiti sahaja. Oleh itu, pembentukan JS-SEZ merupakan inti strategi pembangunan ekonomi kita dan menandakan komitmen kerajaan negeri Johor untuk mengintegrasikan lebih jauh ke dalam ekonomi global, memacu pembangunan kawasan yang seimbang serta mewujudkan ekosistem lengkap dan kumpulan bakat yang mampan supaya Bangsa Johor berpeluang untuk kekal dan merealisasikan potensi mereka di kampung halaman, dan benar-benar memberi manfaat kepada Johor dan Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mengenai status pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang, ia tertumpu kepada kawasan Pengerang Integrated Complex oleh Petronas dan Pengerang Deepwater Terminals oleh Dialog Group setakat ini. Berdasarkan pencapaian sehingga suku keempat 2023, kita telah melihat pertumbuhan yang signifikan dalam komitmen pembangunan dan pelaburan yang telah pun direalisasikan. Antara pencapaian utama yang telah diraih adalah seperti berikut, dari segi pembangunan tanah. Daripada 10,415 ekar tanah yang dikomitedkan untuk pembangunan, sebanyak 4,738 ekar iaitu 45.5% telah dibangunkan. Dari segi Komitmen Pelaburan sebanyak RM139,000,000,000.00 telah pun dicatatkan di mana RM124,000,000,000.00 iaitu 89% daripada jumlah pelaburan tersebut telah berjaya

direalisasikan. Dari segi penciptaan peluang pekerjaan, sebanyak 7,549 peluang pekerjaan telah pun berjaya diwujudkan sepanjang penubuhan PIPC. Dan jumlah ini termasuk 6,898 tenaga kerja Malaysia termasuk dari Pengerang dan Johor yang telah pun melalui program-program latihan kemahiran dan kecekapan industri yang dilaksanakan oleh Johor Petroleum Development Corporation Berhad. Dari segi penghasilan produk petrokimia, PIPC dirancang untuk mempunyai kapasiti penapisan minyak sehingga 1,000,000.00 tong sehari sehingga tahun 2037. Sehingga 2024, kapasiti penapisan minyak mentah yang telah dicapai adalah 300,000 tong sehari. Dengan pencapaian yang positif ini serta cadangan kerajaan negeri Johor supaya kawasan Pengerang dimasukkan dalam Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura, kawasan PIPC atau pun kawasan Pengerang dijangka akan terus menjadi pemacu pembangunan ekonomi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Dan berkaitan isu penempatan pekerja asing di kawasan Pengerang yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penawar, satu jawatankuasa khas telah pun ditubuhkan oleh kerajaan negeri Johor di bawah jawatankuasa ini. Secara amnya, semua majikan yang menggaji pekerja asing diwajibkan untuk menyediakan kemudahan penginapan kepada pekerja asing yang digajikan. Seksyen 24D Akta Standard Mininum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 memperuntukkan bahawa setiap penginapan yang disediakan perlu mendapat perakuan penginapan daripada Jabatan Tenaga Kerja. Mana-mana majikan yang melanggar peruntukan akta tersebut adalah melakukan satu kesalahan dan bila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00.

Bagi tahun 2023, JTK Johor telah pun membuka sebanyak 104 kertas siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 24D akta tersebut. Daripada 104 kertas siasatan, 19 pendakwaan telah pun dibuat dengan jumlah denda sebanyak RM57,000.00 dan 85 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah tawaran kompaun sebanyak RM10,000,016.00. Jumlah sebanayk RM1 juta. Jumlah perakuan penginapan pekerja yang telah diluluskan bagi negeri Johor dari tahun 2021 hingga 30 April 2024 adalah sebanyak 4,473 permohonan yang meliputi 4,153 majikan yang dengan jumlah kapasiti katil keseluruhan sebanyak 217,023 orang. Jabatan Tenaga Kerja Johor dari semasa ke semasa akan melakukan operasi penguatkuasaan bagi memastikan majikan-majikan di negeri Johor mematuhi Akta 446.

Khususnya mengenai isu berkaitan lambakan pekerja asing terabai di Pengerang, ia pada awalnya melibatkan seramai 4,271 orang pekerja asing dari Bangladesh yang ditempatkan di 17 kem asrama penginapan pekerja di sekitar kawasan Pengerang. JTK Negeri Johor telah menjalankan operasi dan lawatan pemantauan sebanyak lapan kali serta dua operasi bersepadu bersama agensi seperti PDRM, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Pengerang dan Pejabat Daerah Kota Tinggi bermula Ogos 2023 hingga April 2024. Tinjauan terkini JTK pada 24 April 2024 mendapati baki jumlah pekerja asing yang masih ada di asrama penginapan pekerja di kawasan Pengerang adalah seramai 335 orang di tiga asrama dan mereka mempunyai pekerjaan dan sedang bekerja di kawasan Pengerang. Seramai 692 pekerja pula terlibat dengan Program Pertukaran Majikan Khas yang melibatkan satu majikan asal dan 26 majikan baharu. Manakala lain-lain pekerja telah pun dikeluarkan dari asrama penginapan oleh majikan mereka untuk bekerja di negeri-negeri lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berdasarkan berkaitan dengan peluang pekerjaan, berdasarkan Belanjawan Johor 2024, Unit Strategik Modal Insan Johor telah merancang strategi selaras dengan Program Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor yang akan diadakan di seluruh daerah dengan penglibatan pelbagai pihak bagi menyantuni Orang Muda Johor khususnya melalui pengisian Program Gerak Kerja Johor yang menyediakan platform untuk rakyat mendapatkan informasi dan membantu dalam pencarian pekerjaan dalam pelbagai

sektor sekali gus membantu pihak majikan mendapatkan tenaga kerja mahir dengan lebih mudah.

Inisiatif ini dirangka dari hasil jalinan kerjasama bersama industri berasaskan pemilikan data tenaga kerja termasuk pihak PERKESO. Selain daripada program Gerak Kerjaya Johor, pihak PERKESO juga menganjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di serata negeri Johor, termasuk kawasan bandar dan luar bandar. Program ini melibatkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta wakil rakyat. PERKESO juga sedang merancang untuk menganjurkan Karnival Kerjaya yang memberi fokus kepada golongan sasaran seperti OKU, wanita dan banduan untuk memastikan semua lapisan masyarakat di Negeri Johor mendapat peluang yang sama.

Sebanyak 21 program karnival kerjaya telah berjaya dilaksanakan sehingga kini yang telah menarik sebanyak 7,239 pendaftar dengan 1,825 orang yang berjaya mendapatkan pekerjaan. Bagi makluman semua, PERKESO turut menjalankan Temuduga Mingguan MYFutureJobs yang diselaraskan mengikut keperluan majikan. Sehingga bulan Mei, seramai 207 sesi temuduga telah diadakan di seluruh Johor, melibatkan lebih daripada 200 majikan, dan secara keseluruhannya berjaya menempatkan seramai 6,398 orang dalam pekerjaan yang sesuai dengan keperluan industri tempatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya juga mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dan juga mempromosikan beberapa inisiatif di bawah PERKESO. Ahli-ahli Dewan negeri Johor boleh menghubungi pihak PERKESO untuk menjalin kerjasama dalam mempromosikan pelbagai inisiatif yang ditawarkan antaranya Aplikasi PERKESO Prihatin. Semua pemimpin masyarakat termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat boleh memberi maklumat prospek rakyat yang memerlukan bantuan dan penyediaan manfaat keselamatan sosial. Muat turunlah aplikasi PERKESO Prihatin dan Skuad Prihatin PERKESO akan menyantuni prospek yang disalurkan melalui aplikasi ini.

Kedua, mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah. Perlindungan diberikan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan rumah tangga serta suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran. Dan ketiga, mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk menggalakkan mereka yang bekerja sendiri mencarum dengan PERKESO, kerajaan telah memberi pembiayaan padanan caruman bagi Caruman Pelan 2 iaitu pelan untuk RM232.80 di mana 90% iaitu RM209.50 caruman dibiayai oleh kerajaan manakala baki 10% iaitu RM23.30 oleh orang bekerja sendiri untuk mendapatkan perlindungan selama 12 bulan.

Usaha untuk menghasilkan tenaga kerja mahir yang kompeten adalah penting bagi menyokong permintaan industri seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang. Dan kerajaan negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan Johor telah pun melaksanakan program Latihan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR) yang berkonsepkan train and place. Program ini menawarkan peluang pekerjaan sejurus peserta tamat menjalani kursus. Pada tahun 2024, PRO-MAHIR dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pertama, Upskill meningkatkan kompetensi pekerja separa mahir kepada pekerja mahir. Kedua, Johor Retrain yang meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran pencari kerja khususnya rakyat Johor, dan ketiga, SMI Care yang memberi kursus kemahiran jangka pendek beserta penempatan pekerjaan yang memberi perhatian kepada golongan tersasar.

Melalui Program PRO-MAHIR tahun 2018 hingga 2023, seramai 2,960 orang peserta telah menerima manfaat melibatkan peruntukan sebanyak RM14,900,00.00. Bagi tahun 2024 pula, sebanyak RM2,000,000.00 telah pun diperuntukkan di bawah Program PRO-MAHIR dengan

melibatkan seramai 360 orang peserta. Semua usaha ini bertujuan untuk memastikan Bangsa Johor memperolehi peningkatan yang signifikan dalam taraf hidup mereka dengan akses kepada peluang pekerjaan yang berkualiti dan berdaya saing. Langkah-langkah ini merupakan tonggak penting dalam usaha kerajaan negeri Johor untuk mengurangkan kadar pengangguran, memperkukuhkan struktur ekonomi dan mewujudkan pembangunan yang mampan demi kesejahteraan segenap rakyat Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga kepada Yang Berhormat Bukit Batu, Bekok, Panti, Tenang, Tangkak, Mahkota, Skudai, Tiram dan Sedili mengenai isu yang sangat penting berkenaan dengan kos sara hidup. Program utama kerajaan persekutuan masih berjalan di bawah Inisiatif Rahmah. KPDN, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan kos sara hidup Johor telah mengadakan 209 kali Jualan Rahmah di negeri Johor setakat ini dan ia membuktikan komitmen pihak kerajaan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat daripada inisiatif ini.

Selain itu, KPDN Johor juga berusaha untuk mengawal harga barangan makanan melalui skim kawalan harga musim perayaan untuk semua perayaan. Untuk skim kawalan harga Tahun Baru Cina 2024 yang dilaksanakan dari 6 Februari 2024 sehingga 14 Februari, KPDN Johor telah melakukan 585 kali pemeriksaan dan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit. Manakala untuk skim kawalan harga musim Hari Raya Aidilfitri, KPDN Johor telah pun melaksanakan 896 pemeriksaan dan sebanyak empat kes telah pun dihasilkan. Dan KPDN Johor juga telah melaksanakan inisiatif penentuan harga maksimum telur ayam yang bermula pada 1 November 2023 bagi memberikan kestabilan harga kepada barang keperluan tersebut. Dan seramai 91 pegawai pemantau harga di Johor turut aktif mengumpulkan maklumat terkini dan membuat kutipan data harga barangan keperluan pengguna terpilih secara harian, mingguan dan bulanan di pasaran. Maklumat tersebut menjadi rujukan kepada pihak kerajaan untuk merangka pelan perancangan serta tindakan yang komprehensif bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan di pasaran. Bermula 1 Januari 2024 sehingga kini sebanyak 22,098 pemeriksaan premis meliputi pelbagai peringkat perniagaan telah pun dilaksanakan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan KPDN Johor yang melibatkan semua daerah di negeri Johor. Sebanyak 321 kes dihasilkan di bawah pelbagai Akta telah pun diambil tindakan. Nilai rampasan sebanyak RM16,675,000.00. Jumlah ini adalah kompaun sebanyak RM61,000.00 manakala nilai denda mahkamah adalah sebanyak RM57,000.00. KPDN Johor juga telah meningkatkan keberadaan atau pun omnipresents pegawai-pegawai penguatkuasa di lokasi menjadi tumpuan pengguna seperti pasar-pasar awam, pasaraya dan pasar malam bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan beretika. KPDN Johor juga menangani pertanyaan dan juga penyelesaian aduan rakyat dengan lebih cepat dan pantas dengan menyediakan skuad tindakan aduan dan resolusi pengguna.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan isu-isu berkaitan Jawatankuasa ini semasa Persidangan Dewan kali ini. Bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta. Sekian, terima kasih. Salam Maju Johor.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Paloh. Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama kita mengalu-alukan kehadiran 33 orang pemerhati ke dalam Dewan Persidangan kita ini. (Dewan bertepuk). Mereka adalah 20 orang dari Bukit Permai, jemput yang mana satu? ha..(Dewan bertepuk) lima orang daripada kawasan Permas. (Dewan bertepuk). Dan lapan orang daripada kawasan Tenang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput Yang Berhormat Yong Peng, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Ahli sidang Dewan sekalian dan wakil-wakil jabatan, pemerhati-pemerhati yang dimuliakan. Pertamanya saya ingin merafak sembah dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor di atas keberangkatan baginda Tunku merasmi sidang Dewan negeri Johor Penggal Persidangan Ketiga pada 9 Mei 2024.

Menjunjung kasih di atas titah Tunku yang secara inklusif dan komprehensif telah menyentuh tentang beberapa perkara berkenaan dengan kemaslahatan negeri dan Bangsa Johor. Ini menunjukkan keprihatinan Tunku terhadap Bangsa Johor. Daulat Tuanku. Baginda Tunku telah meletak keutamaannya untuk memastikan semua Bangsa Johor mempunyai akses kepada kemudahan asas termasuk kemudahan kesihatan yang baik. Dan, baginda Tunku juga bertitah setiap Bangsa Johor berhak untuk menikmati kemudahan kesihatan yang baik tanpa mengira latar belakang sosio ekonomi mereka.

Patik menjunjung kasih keberangkatan Tunku untuk melawat ke tapak pembinaan hospital Pasir Gudang pada 25 Mac 2024. Untuk maklumat sidang Dewan sekalian, sukacitanya saya melaporkan kepada Dewan, peratusan kemajuan Projek Hospital Pasir Gudang telah mencapai kemajuan fizikal sebenar 73.81% iaitu lebih cepat berbanding dengan 63% kemajuan fizikal jadual bersamaan dengan awal 66 hari. Hospital Pasir Gudang dijangka siap dan serah pada 13 Mac tahun 2025 dan bakal beroperasi pada Mei tahun 2025. Untuk memberi manfaat kepada kira-kira lebih 900,000 penduduk di Pasir Gudang dan kawasan sekitar. Kerajaan negeri terus komited bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran projek pembinaan Hospital Pasir Gudang ini siap sepenuhnya dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Untuk maklumat YB Johor Jaya dan Permas juga bukan sahaja Hospital Pasir Gudang, penduduk Pasir Gudang bakal mendapat klinik kesihatan jenis dua yang baharu iaitu jenis Klinik Kesihatan Cendana juga dalam pembinaan dengan kos peruntukan sebanyak RM36,700,000.00 dan dijangka akan siap pada November tahun ini. Klinik Kesihatan Cendana akan menyediakan perkhidmatan seperti perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan kesihatan ibu dan anak, perkhidmatan pergigian, perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan rehabilitasi, perkhidmatan x-ray, perkhidmatan makmal patologi dan lain-lain kepada penduduk setempat di kawasan Pasir Gudang.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan sekalian. Ramai Ahli Yang Berhormat telah membangkitkan isu fasiliti kesihatan di DUN masing-masing seperti Yang Berhormat Kukup, Yang Berhormat Senggarang, Yang Berhormat Gambir, Yang Berhormat Endau, Ahli-Ahli Yang Berhormat juga memaklumkan bahawa projek kerja penaiktarafan yang sedang atau siap dilaksanakan di kawasan masing-masing. Saya ingin memaklumkan kepada Dewan tahun lepas iaitu pada tahun 2023, sebanyak 43 fasiliti kesihatan iaitu 14 klinik kesihatan, 29 klinik desa telah dinaik taraf dengan peruntukan RM13,400,000.00 dan ia membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselesaan di fasiliti kesihatan. Bukan ini sahaja, pada tahun ini penaiktarafan klinik-klinik daif ini diteruskan dengan peruntukan RM16,900,000.00 juta sebanyak 56 klinik kesihatan dan klinik desa bakal dinaik taraf. Tambahan dua tahun ini, sebanyak 99 fasiliti kesihatan telah atau pun akan dinaik tarafkan. Ia meliputi seluruh kawasan DUN di negeri Johor.

Bagi menjawab soalan YB Kukup berkaitan isu klinik yang terbengkalai di Sungai Kuali. Terima kasih Yang Berhormat membawa isu ini ke dalam Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Pontian. Untuk maklumat Yang Berhormat, Pejabat Kesihatan Pontian dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor sedang mengambil tindakan. Kuarters terbiar yang terletak pada jarak 10 hingga 15 minit dari KK Serkat, perancangan penggunaan tanah ini untuk membina klinik

kesihatan Serkat baharu yang telah tersenarai dalam RMK tahun 2026. Setakat ini Pejabat Kesihatan Pontian akan menjaga persekitaran dengan memastikan kawasan tidak bersemak dan tiada pencerobohan manusia. Saya perlu menekankan manusia disebabkan sedang berlaku ada lembu yang mencerobohkan kawasan tersebut. Klinik kesihatan Serkat akan dinaik taraf dalam tahun ini juga dengan anggaran peruntukan RM493,000.00. Bagi memudahkan Bangsa Johor untuk mendapat perkhidmatan kesihatan dan saringan kesihatan, satu program yang dinamakan Klinik Bergerak Maju Johor telah dilancarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan peruntukan RM1,000,000.00.

Terima kasih kepada YB DUN Machap, Layang-Layang, Semarang, kawasan Timbalan Speaker, Yong Peng kawasan saya, Pemanis, Kemelah yang telah berjaya menganjurkannya dan saya difahamkan bahawa program Klinik Bergerak mendapat sambutan yang baik daripada warga penduduk setempat. Minggu ini klinik bergerak tersebut akan menawarkan perkhidmatan mereka di DUN Bekok dan DUN Tenang. Berhati-hati, saya akan cuba buat spotcheck ke kawasan program tersebut eh. Bagi kawasan DUN yang lain, saya minta untuk bersabar dahulu. Pejabat saya akan berhubung dengan YB ADUN masing-masing supaya program ini dapat dianjurkan di setiap kawasan DUN.

Bagi isu kekurangan kakitangan kesihatan di negeri Johor seperti yang disebut oleh YB Bukit Kepong dan YB Jementah. Memang benar negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan kakitangan di semua fasiliti kesihatan negeri Johor. Berdasarkan data perjawatan sehingga 30 April 2024, sebanyak 2,389 jawatan masih belum diisi. Isu ini akan bertambah serius sekiranya tiada perancangan rapi, tiada perancangan rapi terhadap perkembangan bidang kesihatan dan tempoh terdekat. Contohnya pengoperasian Hospital Pasir Gudang pada tahun hadapan yang memerlukan lebih daripada 2,200 jawatan. Tambahan pula negeri Johor terletak di sebelah Singapura, kita perlu bersaing dengan negara jiran dan mata wang dollar nya 3.5 kali ganda daripada Ringgit Malaysia. Pada pandangan saya isu ini haruslah disampaikan ke peringkat kementerian dan saya juga telah berjumpa dengan mantan menteri mahu pun menteri sekarang bagi mencadangkan kewujudan skim khas atau insentif khas kepada kakitangan yang bertugas di Johor Selatan yang sudah tentunya menanggung kos sara hidup yang tinggi. Dengan pengumuman daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan usul kenaikan gaji bagi penjawat awam akan dibentangkan pada hujung tahun ini, saya berharap pihak kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan daripada Kerajaan Negeri Johor.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini dalam Dewan yang mulia ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor dan Bangsa Johor untuk menghadiahkan sekalung budi, sejambak hati dan dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan di setiap fasiliti kesihatan yang tak mengenal penat untuk memberi perkhidmatan yang efisien, mesra dan berkualiti. Pengorbanan mereka sanggup tidak terkira, sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di setiap fasiliti kesihatan, melayan kerenah pesakit dengan penuh kesabaran dan seterusnya meletak diri dalam risiko dijangkiti seribu satu virus yang berbahaya demi mempertahankan sistem kesihatan negara kita. Petugas kesihatan pahlawan terbilang, tanpa mereka pasti jiwa melayang.

Untuk makluman sidang Dewan sekalian pada tahun 2019 sebanyak 6,134 housemen bertugas dalam hospital di seluruh Malaysia. Merekalah yang membantu dan meringankan beban kerja kakitangan perubatan manakala pada tahun 2023 hanya 3,271 yang menjalankan housemenship, dengan izin, dengan pengurangan sebanyak 47%. Oleh itu saya setuju cadangan YB Pulai Sebatang untuk mencadangkan pemerkasaan Program STEM di sekolah untuk menarik minat pelajar terhadap bidang Sains dan Matematik supaya generasi baharu lebih berminat dalam bidang perubatan.

Kita sedar bahawa masih banyak kekurangan dalam kemudahan hospital awam di negeri Johor. Akan tetapi hospital-hospital di negeri Johor tetap dilengkapi dengan kemudahan akses perubatan yang canggih dan terkini bagi memastikan perawatan kepada pesakit dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan. Keenam-enam buah hospital pakar di negeri Johor mempunyai sekurang-kurangnya satu mesin city scan dan empat buah hospital pakar major di Johor iaitu HSA JB, HSI JB, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar mempunyai mesin MRI. Bagi Hospital Sultan Ismail Johor Bahru yang merupakan Pusat Onkologi Johor juga mempunyai tiga mesin radioterapi dan 1 mesin brasisterapi untuk kegunaan pesakit kanser. Bagi tahun 2023, KKM telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15,200,000.00 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan di hospital-hospital negeri Johor.

Yang Berhormat Jementah telah membangkitkan isu kesesakan pesakit di Hospital Segamat. Kerajaan negeri peka terhadap isu ini dan isu ini lagi kritikal pada hospital di daerah Johor Bahru khususnya Hospital Sultanah Aminah. Pada belanjawan Tahun Johor 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1,100,000.00 juta bagi melaksanakan sistem nombor giliran pintar. Kerajaan negeri Johor merupa satu-satunya negeri yang memperuntukkan bajet negeri bagi perlaksanaan smart queue system dengan izin, di Hospital Sultanah Aminah bagi melicinkan pengurusan pelanggan di HSA supaya menjadi lebih efektif dan efisien dan turut mengurangkan masa menunggu di HSA. Sekiranya perlaksanaan sistem ini berjaya, mudah-mudahan ia akan dicadangkan perluasan perlaksanaan di hospital-hospital lain di negeri Johor.

Sidang Dewan yang dimuliakan. Topik perubahan iklim dan juga teknologi hijau juga banyak kali dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Antaranya isu kesan perubahan iklim seperti banjir kilat dan juga kesan kepada sektor pertanian yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kota Iskandar. Setakat ini tiada bantuan bencana alam yang tersedia bagi mangsa-mangsa banjir kilat. Kerajaan negeri akan berusaha dan membuat permohonan kepada kerajaan pusat supaya mempertimbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terkesan. Untuk maklumat Yang Berhormat ramai pekebun di kawasan saya, Yong Peng yang terkesan dan menghadapi kerugian besar akibat banjir kilat atau perubahan iklim. Sama-sama kita usahakan supaya mangsa-mangsa yang terkesan dapat dibantu oleh pihak kementerian yang berkaitan.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan sekalian, kerajaan negeri amat peka terhadap pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar negeri Johor. Untuk maklumat Dewan, negeri Johor mempunyai 8,070 buah kilang yang berdaftar dan dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar. Kilang-kilang ini memerlukan kekuatan anggota yang besar bagi melaksanakan kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan dengan berkesan. Saya sendiri juga telah terlibat dalam satu operasi penguatkuasaan kilang yang membuat pemantauan secara mengejut ke 50 buah kilang dengan mendapat pensampelan sisa air mereka. Penjagaan alam sekitar adalah amanah setiap manusia yang mendiami alam ini. Jadi, Pihak Berkuasa mendahagakan komitmen daripada semua rakyat bahawa sekiranya mensyaki atau mendapati kes pencemaran kilang boleh terus melapor, melaporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar atas talian 1800-88-2727. Kami terus memantau Piawaian Standard yang telah ditetapkan bagi memastikan pengurusan sisa industri yang mematuhi piawaian dan selamat.

Jabatan Alam Sekitar akan terus melaksanakan operasi yang berkaitan terhadap kilang-kilang di seluruh Johor bagi menjamin kelestarian, kesejahteraan dan kesihatan Bangsa Johor. Selain itu, terdapat 29 buah sungai di Malaysia dikenal pasti sebagai sungai tercemar dan di antaranya 14 berada di negeri Johor. Negeri Johor juga merupa antara negeri yang memantau

paling banyak sungai oleh kementerian di Malaysia iaitu sebanyak 126 sungai yang dalam pengawasan dan pemantauan berkala Jabatan Alam Sekitar.

Kerajaan Negeri Johor komited melestarikan sungai-sungai tersebut bagi memastikan habitat sungai dan juga kualiti air dalam sungai adalah selamat dan bersih. Kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Jabatan Alam Sekitar, syarikat swasta dan juga NGO akan melaksanakan pelbagai program dan usaha membersihkan sungai-sungai kita seperti kempen kesedaran, Program Johor Bersih dan lain-lain.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, jangan lupa selain daripada Program Semarak Subuh, saya menyeru kepada semua Yang Berhomat ADUN supaya adakan Program Johor Bersih, kita kutip sampah di kawasan masing-masing setiap minggu. (Dewan bertepuk).

Seperti yang dikatakan oleh YB Permas, di negeri Johor mempunyai banyak industri yang boleh menyumbang kepada usaha karbon sifar atau pemuliharaan alam sekitar, saya setuju. Kita juga akan bekerjasama dengan pihak industri dengan inovasi mereka bagi memastikan bahan-bahan buangan seperti plastik mahupun sisa-sisa gas negeri Johor dapat dikumpulkan dan dihasilkan kepada produk baharu dan turut menyumbang kepada usaha Carbon Net Zero Negeri Johor.

YB Sedili dan YB Panti telah membangkitkan isu konflik antara manusia dan gajah di kawasan mereka. Jabatan PERHILITAN sentiasa memantau situasi konflik manusia dengan haiwan liar termasuk konflik gajah. Sukacita, ingin saya memaklumkan bahawa Johor Elephant Sanctuary (JES) atau Santuari Gajah Johor yang terletak di Kota Tinggi telah ditubuhkan dengan tujuan memperkasakan pengurusan gajah di negeri Johor dengan mengurangkan masalah gangguan gajah-gajah liar di kawasan pertanian dan penempatan. Setakat ini, Santuari Gajah Johor menunjukkan tanda yang baik dengan berjaya menarik gajah liar ke kawasan Santuari Gajah dan beradaptasi di kawasan tersebut.

Sasaran Santuari Gajah Johor adalah mengurangkan konflik manusia-gajah sehingga 50% dalam tempoh 5 tahun selepas projek pembangunan Santuari Gajah Johor siap sepenuhnya. Bukan itu sahaja, untuk mengelakkan gajah liar memasuki kawasan kampung, satu projek pagar elektrik dengan kos anggaran RM8,000,000.00 telah diluluskan dan sedang menunggu kebenaran pihak Jabatan Perhutanan agar pagar tersebut dibina di pinggir Hutan Panti. Saya akan memastikan Jabatan Perhutanan dan PERHILITAN bekerjasama dengan rapat bagi memastikan projek ini di jalan lancar supaya dapat mengurangkan konflik gajah dengan manusia di daerah Kota Tinggi.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Jabatan PERHILITAN sedang mengkaji projek mewujud satu tapak koridor gajah dengan penyediaan satu padang ragut serta tiga jenut tiruan yang menjadi foodbank gajah supaya laluan gajah menjauhi tempat penempatan dan turut mengurangkan risiko konflik manusia dan gajah.

Untuk makluman YB-YB dari daerah Kota Tinggi, saya akan ke Kota Tinggi untuk pengerusikan satu mesyuarat task force di atas permintaan YB Panti tadi, 27 hari bulan Mei saya akan ke daerah Kota Tinggi dan mudah-mudahan kita dapat hadir bersama dan kita bincang bersama untuk mencari jalan menyelesaikan konflik di antara gajah dan manusia.

Mengenai isu konflik manusia dan monyet pula, yang dibangkitkan oleh YB Mahkota, pihak PERHILITAN Johor mempunyai 52 perangkap monyet yang aktif akan tetapi ia masih tidak mencukupi. Pihak PERHILITAN sedang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan

(PBT) dan komuniti tempatan supaya menyediakan perangkap komuniti masing-masing. Pihak PERHILITAN Johor sedang mengkaji kaedah baharu bagi menyelesaikan konflik manusia dengan monyet.

Bagi isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penggaram, mengenai bayaran permit menjalankan aktiviti hiking di dalam Hutan Simpanan. Pada masa ini, kemasukan ke dalam beberapa kawasan Hutan Simpan bagi tujuan pendakian ataupun hiking dikenakan bayaran fi Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal selaras dengan peruntukan Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara 1985 Negeri Johor.

Untuk makluman Dewan sidang sekalian, kadar bayaran fi permit sebelum ini, sebelum itu ialah RM150.00 bagi setiap permit. Akan tetapi kadar bayaran fi permit telah dikemaskinikan dan ditetapkan pada masa kini ialah RM10.00 bagi warganegara dan RM30.00 bagi bukan warganegara yang mula berkuat kuasa pada tahun 2021. Kerajaan negeri mengakui bahawa kadar fi tersebut dikenakan secara masa sama rata bagi semua aktiviti kemasukan ke dalam kawasan Hutan Simpan tanpa merujuk kepada tujuan atau aktiviti.

Oleh itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor sedang menjalankan kajian kesesuaian untuk mengenal kadar fi yang berbeza-beza mengikut tujuan ataupun aktiviti seperti bagi tujuan pendakian, riadah di Taman Eko Rimba, penyelidikan, berkhemah dan sebagainya termasuk cadangan untuk mengenakan kadar yang berbeza mengikut kategori kelas umur seperti kanak-kanak, dewasa ataupun warga emas ataupun Orang Kelainan Upaya. Kajian tersebut turut membuat perbandingan dengan kadar yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung Malaysia. Kajian ini, kajian yang dijalankan ini akan memastikan kadar yang ditetapkan tidak membebankan semua lapisan masyarakat dan pemain-pemain industri. Dijangkakan kajian tersebut akan selesai pada hujung tahun dan seterusnya akan dibentangkan melalui Pindaan Jadual Ke-4 (Fi Pelbagai) Kaedah-Kaedah Hutan 1987 Negeri Johor.

Saya juga, sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Johor juga sedang berusaha untuk membangunkan platform digital ataupun perkhidmatan sistem atas talian (online system) melalui peruntukan yang telah diluluskan sebanyak RM7,000,000.00 untuk membangunkan satu sistem bersepadu yang dikenal sebagai Sistem Perhutanan Johor ataupun Johor Forestry System atau ringkasannya JFORS. Dengan pembangunan sistem ini, kita boleh akses perkhidmatan atas talian menggunakan satu sistem sahaja yang akan diintegrasikan dengan sistem-sistem yang berkaitan di peringkat negeri di bawah inisiatif Johor Digital Master Plan.

Pembangunan JFORS ini akan mengandungi beberapa modul dan salah satu modul ialah Modul Ekopelancongan yang mana, melalui modul ini pemohon permit memasuki Hutan Simpan dan juga proses bayaran akan dibuat secara atas talian. Pembangunan sistem JFORS tersebut pada dasarnya telah bermula melalui tawaran tender yang telah dikeluarkan pada 18 April 2024 yang mana pelaksanaannya secara berfasa dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tahun 2026. Sehubungan itu, kerajaan negeri Johor pada dasarnya telah pun mengambil kira apa yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Penggaram dan kita berharap dengan pembangunan sistem tersebut akan memudahkan orang awam dan peminat aktiviti mendaki berterus dapat menggiat lagi pembangunan ekopelancongan negeri. Dah lebih masa 20 minit dah saya kena akhiri ucapan saya. Seterusnya, saya juga ingin mengucap terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepada perlaksanaan pelbagai inisiatif dalam di bawah Portfolio saya iaitu Kesihatan dan Alam Sekitar di negeri Johor. Sebagai EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar tanggungjawab saya adalah untuk

memastikan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar menjadi keutamaan. (Dewan bertepuk).

Pohon selasih di tepi rumah, kembang berseri indah bergaya, Bangsa Johor, Bangsa berhemah, seia sekata menunjuk jaya. Harum mewangi berbunga dahlia, gugur sekuntum tepi jendela, Maju Johor hasrat termulia demi bangsa korban segala. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Yong Peng. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Serom, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15. Dengan hormat dan penuh takzimnya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas perkenan merasmikan sidang Dewan pada kali ini. Patik menjunjung titah ucapan serta nasihat Tunku agar memastikan kebajikan Bangsa Johor sentiasa menjadi keutamaan.

Patik merafak sembah takzim menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda Johor yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal antara lain berkaitan kanak-kanak, wanita dan OKU khususnya di negeri Johor. Kerajaan negeri Johor melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa berusaha dalam memastikan golongan sasar sentiasa terbela. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor sentiasa mengambil cakna titah Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda dan akan terus berperanan aktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain. Penglibatan pertubuhan badan bukan kerajaan komuniti dan masyarakat setempat amat dialu-alukan dan juga dititik beratkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya keprihatinan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dalam titah ucapan yang disampaikan, yang menekankan kebajikan rakyat dan pembuat pembangunan adalah amatlah patik sanjungi.

Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama yang menunjukkan keprihatinan terhadap pemberian bantuan sosial demi kelangsungan rakyat Johor. Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor merupakan antara jabatan yang menyediakan Skim Bantuan Sosial. Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga April 2024, penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor adalah seramai 54,405 orang merangkumi Bantuan Am Kerajaan Negeri Johor dan persekutuan. Setiap permohonan akan mendapat pertimbangan selagi mereka masih berada di bawah syarat kelayakan penerima bantuan JKM berdasarkan kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan tahun 2022 iaitu RM1,198.00 dan pendapatan per kapita RM322.00 seorang ahli isi rumah. Oleh itu, sekali gus dalam usaha menyahut ke arah sifar miskin tegar, saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dengan kerjasama Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil inisiatif melakukan semakan penerima bantuan bulanan secara besar-besaran bagi memastikan penerima bantuan benar-benar layak menerima.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Puteri Wangsa dan Penawar yang memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan negeri dalam memperluaskan penubuhan Jauhar Child Care Centre. Sebagaimana dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 di bawah Teras Lapan Persona Wanita dan Idealis Anak Muda Dasar PM 2 Kesejahteraan dan Keseimbangan Hidup Wanita iaitu dengan meluaskan sokongan bagi wanita bekerjaya. Justeru itu, YPKDT telah menubuhkan 4 buah JCCC yang telah beroperasi iaitu JCCC YPKDT Kota Iskandar, JCCC YPKDT Pontian, Batu Pahat dan Muar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui YPKDT dengan kolaborasi strategik bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor akan memperluaskan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, selamat dan ekonomi khususnya bagi golongan B40 agar kanak-kanak berpeluang mendapat Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang sempurna menerusi modul Jauhar yang telah dibangunkan dengan kerjasama National Kind Development Research Centre dengan izin Pusat Penyelidikan Kanak-Kanak UPSI.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat, dua buah JCCC yang baharu telah mula beroperasi pada 12 Mei 2024 yang lalu iaitu JCCC Segamat dan JCCC Pertama Dalam Komuniti iaitu JCCC Melana Indah. Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Program Pemulihan Dalam Komuniti atau nama ringkasnya Program PDK adalah satu inisiatif dalam pembangunan komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang dan integrasi sosial bagi Orang Kurang Upaya (OKU). Demi melengkapkan penyelia dan petugas di PDK mempunyai pengetahuan berkemahiran, Kursus Asas Petugas PDK diberikan kepada penyelia dan petugas PDK yang dilantik. Modul yang digunakan memberi fokus kepada proses pembelajaran dan pemulihan PDK. Setiap petugas yang dilantik wajib mengikuti kursus ini sebagaimana ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan PDK. JKM juga sedang dalam usaha menaiktaraf pendidikan dan kelulusan penyelia dan petugas PDK di seluruh Malaysia termasuk di negeri Johor. Hasil semakan berkaitan dengan kursus dan latihan, seramai 245 orang dari 413 orang penyelia dan petugas PDK dalam negeri Johor telah memperolehi dan diberikan sekurang-kurangnya satu bidang latihan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan Orang Kurang Upaya seperti Kursus Asas Petugas PDK, Training of Trainer, dengan izin dan Kursus Persijilan Siji Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang pengurusan PDK dan penjagaan orang kurang upaya. Daripada jumlah tersebut, seramai 59% penyelia dan petugas PDK telah pun dipilih, dilatih dan diberikan kursus dalam bidang berkaitan.

Dimaklumkan bahawa keseluruhan 73 buah PDK yang terdapat di negeri Johor sekurang-kurang dua orang petugas dari setiap PDK telah pun mempunyai kursus asas PDK. Bagi petugas PDK yang mempunyai Training of Trainers, kursus asas PDK, mereka akan memberikan latihan kepada petugas yang lain secara In-Situ. Dalam pemantauan yang dijalankan mereka akan membuat perbincangan latihan mengajar dan cara-cara pengurusan pelatih OKU seminggu sekali. Sementara itu, sebagai persediaan buku log mengajar akan diisi setiap hari sebagai bahan persediaan pemulihan dan pembelajaran kepada pelatih PDK.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu sebagai kemahiran tambahan pihak pengurusan PDK bersama penyelia dan petugas akan berkolaborasi dengan beberapa agensi kerajaan seperti Klinik Kesihatan, Jabatan Pertanian dan KEMAS. Oleh kerana pelatih yang hadir di PDK terdiri daripada pelbagai kategori OKU, maka mereka ini perlukan latihan yang berbeza. Bagi pelatih yang mengalami OKU fizikal seperti cerebral palsy, petugas PDK mendapatkan latihan secara berjadual dari jurupulih cara kerja dari klinik kesihatan yang berhampiran akan datang ke PDK seminggu dua kali secara berjadual untuk memberikan latihan teknik-teknik pemulihan anggota kepada petugas PDK dan ibubapa.

PDK juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk melatih dan memberi input kepada petugas dan pelatih berkaitan dengan tanaman sayuran atau pokok buah-buahan secara bersistematik atau tanaman secara hidroponik. Terdapat juga latihan yang mengusahakan ikan air tawar. Latihan vokasional juga diperolehi seperti kemahiran memasak, kraftangan dan menjahit dari Jabatan KEMAS. PDK juga merupakan sebuah pertubuhan, selain daripada kursus atau latihan yang diberikan oleh pihak Kerajaan, pihak PDK itu sendiri boleh memperkasakan kemahiran kepada penyelia dan petugas PDK dengan menghantar mereka ke kursus yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Menyedari tentang pentingnya untuk menangani isu berkaitan wanita, maka kerajaan negeri Johor telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah pusat perlindungan sementara iaitu Rumah Pesona Johor di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim bagi membantu mangsa-mangsa di kalangan wanita yang memerlukan perlindungan sementara. Cadangan pembangunan RPJ ini juga adalah selari dengan Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor 2020-2030, di bawah Teras 8, Pesona Wanita dan Aspirasi Idealis Anak Muda dan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Negeri Johor 2022-2031 di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman semua, Pembangunan Rumah Pesona ini melibatkan kerja-kerja membaikpulih, naik taraf dan membina bangunan tambahan di Bangunan Kuarters JKR yang dijangka mampu menempatkan antara 20 hingga 30 orang penghuni dalam satu-satu masa. Pembangunan RPJ ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3,400,000.00 iaitu bagi kerja-kerja di bangunan utama, dewan makan, dewan terbuka berbumbung, pondok pengawal, rumah sampah dan taman herba serta perbekalan keperluan perabot di rumah perlindungan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerja-kerja pembinaannya sudah pun bermula dari awal Januari 2024 yang lalu melibatkan tempoh kontrak pembinaan selama 32 minggu dan dijangka akan siap sepenuhnya pada September 2024.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Penawar yang mengambil berat akan isu gelandangan di Bandaraya Johor Bahru. Untuk makluman pengetahuan Yang Berhormat, kerajaan negeri Johor memandang serius akan isu gelandangan dan sentiasa bekerja keras dalam usaha menangani isu ini. Operasi Bersepadu Pemantauan Gelandangan giat dijalankan sekali setiap bulan dan Pegawai Daerah Johor Bahru selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Daerah merupakan penyelaras operasi bersepadu ini yang juga melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan antaranya Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Yayasan Kebajikan Negeri Zon Selatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Pendaftaran Negara, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Eksais, Jabatan Agama Islam Negeri Johor serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Dalam masa yang sama setiap jabatan dan agensi yang dilibat juga melaksanakan omni-presence pada setiap masa. Sebagai tambahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri Johor antara jabatan yang sentiasa membuat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berkala secara omni-presence menyelamatkan gelandangan bagi mengenalpasti perkhidmatan yang sesuai untuk golongan gelandangan ini.

Yang Berhormat Skudai juga ada mencadangkan untuk kerajaan negeri untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas sebelum 2027. Untuk makluman Yang Berhormat

Speaker, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 antara penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3% daripada jumlah penduduk negara. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa memberi perhatian kepada golongan warga emas. Pelbagai program telah diatur dan dilaksanakan untuk memastikan kesejahteraan kehidupan warga emas. Salah satu daripada program tersebut adalah penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas. Pusat aktiviti ini adalah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. Ia merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial reaching out, dengan izin dan pembangunan developmental kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Sehingga 28 April 2024, negeri Johor mempunyai 17 buah Pusat Aktiviti Warga Emas dengan bilangan ahli mendaftar sebanyak 4,359 orang warga emas manakala lima buah pusat aktiviti baru telah diluluskan penubuhannya bagi tahun 2024 iaitu Bandar Baharu Ibrahim Majid, Kluang, Pusat Aktiviti Warga Emas Simpang Renggam, Kluang, Pusat Aktiviti Warga Emas Tebrau, Johor Bahru, Pusat Aktiviti Warga Emas Endau, Mersing, Pusat Aktiviti Sri Lambak, Sembrong, Kluang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Pertubuhan Kebajikan Pusat Aktiviti Warga Emas juga merupakan sebuah pertubuhan NGO yang berdaftar dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan bergerak aktif dalam melaksanakan aktiviti kepada warga emas dengan melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat yang lain. Jabatan sentiasa menggalakkan pihak pertubuhan warga emas untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat korporat atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain selain daripada bantuan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, untuk sama-sama membantu dalam memberi sumbangan seperti peruntukan dan penglibatan dalam aktiviti yang dilaksanakan agar program dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan memastikan pelaksanaan Dasar Warga Emas itu sendiri selain turut berperanan menangani isu-isu warga emas dan fenomena penuaan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Kebangsaan telah diwujudkan sebagai suatu mekanisme pelaksanaan dasar berkaitan warga emas dan penuaan penduduk. Fungsi Majlis ini adalah untuk memastikan pelaksanaan Dasar Warga Emas dapat berperanan menangani isu-isu warga emas dan fenomena penuaan. Justeru, Jawatankuasa Penubuhan Pembangunan Warga Emas Negeri Johor telah ditubuhkan bagi menghubungkan pentadbiran persekutuan dan negeri. Jawatankuasa ini diwujudkan bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan dengan lancar di semua peringkat seterusnya memastikan kelestarian program dan pemantauan yang lebih teratur.

Setakat ini sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan melibatkan jabatan di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Terdapat beberapa soalan yang telah saya jawab. Walau bagaimanapun, saya akan memastikan setiap persoalan berbangkit itu daripada pihak Yang Berhormat, yang tidak sempat saya jawab dan bahas hari ini, akan diberikan jawapan secara bertulis. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ketua jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugas yang dipertanggungjawabkan. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Selanjutnya Yang Berhormat Tenggaroh, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor. Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Yang Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Di kesempatan ini, patik ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Bagi Dewan Undangan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 9 Mei 2024 yang lalu. Patik yakin dan percaya bahawa titah ucapan buat julung kali di dalam Dewan yang mulia ini disambut baik oleh semua Ahli Yang Berhormat. Segala titah, nasihat dan ingatan Duli Yang Amat Mulia Tunku sentiasa patik semat dalam ingatan sepanjang menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di seluruh Malaysia. Dengan Tema Hari Guru 2024 adalah “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”. Jasa guru tiada ternilai, mendidik kita sehingga berjaya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hampir 4 bulan saya menggalas tugas dan tanggungjawab baharu dalam memastikan terus pembangunan Negeri Johor berjalan dengan lancar. Walaupun portfolio saya kini sudah berubah, sudah baharu tetapi pelancongan masih menjadi tanggungjawab saya untuk saya pastikan infrastruktur pelancongan yang telah diperuntukkan dalam belanjawan tempoh hari untuk kita segerakan persiapannya. Hari ini saya amat berbesar hati untuk menyatakan saya sedia bersama dedikasi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk memastikan infra-infrastruktur pelancongan kita bersedia bagi menerima pelancong-pelancong pada Tahun Melawat Johor 2026. Saya tahu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor inginkan yang terbaik buat pelancongan kita, jadi saya akan bersama-sama membantu bersama beliau untuk negeri kita.

Oleh itu, melalui inisiatif JS-SEZ yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sebenarnya memberi peluang yang besar kepada sektor pelancongan negeri Johor yang akan terus rancak dan secara langsung memberi manfaat di kawasan JS-SEZ. Dan kepada daerah yang lain seperti Mersing, Kota Tinggi, Muar dan Segamat, inisiatif ini bukanlah sekadar angan-angan buat kerajaan negeri, sama-sama kita memberi yang terbaik buat Kerajaan Negeri dalam meneruskan harapan besar inisiatif ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada Belanjawan 2024, YAB Menteri Besar Johor telah mengumumkan inisiatif Johor Harmoni dengan peruntukan RM850,000.00 bagi melaksanakan program-program memperkukuhkan perpaduan kaum di pelbagai lapisan usia, latar belakang sosioekonomi, adat resam dan pegangan agama. Kerajaan negeri bersama Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional Negeri Johor telah merangka dan menjalankan program perpaduan yang holistik bagi Bangsa Johor kita.

Untuk memastikan nilai-nilai murni diterap sebati dalam jiwa masyarakat, program Silang Budaya Johor diperkenalkan agar setiap lapisan masyarakat dapat merasai, memahami, menghormati dan menerima perbezaan antara kaum untuk hidup dengan harmoni di negara ini. Program Silang Budaya Johor tercetus daripada ilham Yang Amat Berhormat Dato’ Onn

Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor ketika mesyuarat perbincangan KPI EXCO pada tahun 2022. Wawasan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bagi memupuk hubungan silaturahim dan perpaduan melalui konsep tarian silang budaya yang melibatkan pelbagai budaya antara Bangsa Johor.

Tahun ini dengan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan negeri Johor sebanyak RM500,000.00, Program Silang Budaya Johor akan dijalankan kepada 2 kategori, iaitu peringkat sekolah dan peringkat dewasa. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Jabatan Pendidikan akan memperkenalkan Program Silang Budaya berteraskan tradisi Johor di sekolah-sekolah dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah jenis kebangsaan tamil dan sekolah menengah kebangsaan. Pengisian Program Silang Budaya ini merangkumi pendekatan moral dan sivik, budaya dan adat resam serta kenegaraan. Peserta yang mengikuti program ini turut didedahkan kepada sejarah negara untuk meningkatkan rasa kecintaan kepada tanah air.

Justeru, Program Silang Budaya ini adalah bermatlamat untuk mendidik masyarakat umumnya dan generasi muda khususnya untuk keterbukaan minda terhadap budaya dan tradisi semua kaum di Malaysia seperti makna objektif Rukun Negara iaitu membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Program Keselamatan Sosial dan Kejiranan kepada 1,000 ahli SRS untuk mereka memberi bantuan awal jika berlaku bencana dalam komuniti melibatkan Peronda SRS, Skuad Uniti dan Mediator Komuniti. Program ini bertujuan untuk memperkasa peranan dan tanggungjawab rukun tetangga sebagai sebuah institusi sosial dalam membantu mengurus konflik dan membendung kegiatan jenayah serta gejala sosial dalam kawasan kejiranan serta mengukuh jaringan kerjasama strategik antara agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan komuniti. Lagi satu inisiatif dari kerajaan negeri adalah Program Keamanan Antara Penganut Agama melalui Program Interfaith Harmony yang akan dilaksanakan bersama komuniti berbilang agama yang merangkumi program dan aktiviti seperti Dialog Harmoni, Forum Interfaith, Ziarah Harmoni Sentuhan Kasih, Program Harmoni Bersama dan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama.

Menyentuh topik perbahasan yang diperberbangkitkan oleh Yang Berhormat Tangkak. Penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama Negeri Johor yang diperkenalkan pada tahun 2023, juga merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan platform kepada wakil pengurusan badan agama selain Islam. Mengadakan perbincangan dan mencari solusi terbaik untuk merapatkan hubungan antara penganut agama di negeri Johor serta mendidik semua penganut agama agar menghormati dan menerima perbezaan antara satu sama lain dari segi adab dan kepentingan upacara keagamaan masing-masing.

Bagi kelangsungan inisiatif ini, Jawatankuasa Perpaduan Negeri akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri bagi memastikan penganjuran program dan aktiviti serta sesi perbincangan dapat diuruskan secara terpimpin demi kestabilan sosial, kemakmuran dan keamanan di negeri ini.

Cerita mengenai perpaduan negeri Johor. Saya dengan ini mengambil kesempatan bagi memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan bahawa pada 23 hingga 26 Mei 2024, Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan akan berlangsung di Angsana Mall, Johor Bahru. Sambutan Minggu Perpaduan ini merupakan salah satu inisiatif kepada Kementerian Perpaduan Negara bersama kerajaan negeri bagi menyemarakkan semangat patriotik dan

memperkukuhkan hubungan antara pelbagai etnik dan kebudayaan. Dijemput ahli-ahli Dewan turut serta bagi meraikan dan memeriahkan lagi program ini.

Semua program dan aktiviti yang disusun adalah untuk mendidik rakyat hidup bersama secara harmoni, bertoleransi, hormat menghormati serta menerima perbezaan secara positif. Setiap program dan aktiviti melibatkan kumpulan sasar ahli komuniti dari usia belia hingga ke golongan warga emas serta golongan kelainan upaya kerana perpaduan di Malaysia, khususnya di Johor adalah milik bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh pada perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat selama 4 hari, saya ingin menyentuh dahulu keprihatinan Yang Berhormat ADUN Johor Lama. Semua sedia maklum di dalam perbahasan Yang Berhormat ADUN Johor Lama telah menyatakan bahawa banyak tinggalan sejarah kegemilangan kerajaan Johor berada di Kota Tinggi dan Johor Lama. Ingin saya tambahkan bahawa kerajaan negeri Johor telah mengambil langkah dan usaha dalam memulihara kawasan pekarangan makam-makam tersebut.

Pertama-tamanya kita perlu kenal pasti sama ada makam-makam lama tersebut disenaraikan di dalam senarai inventori atau juga telah diwartakan menerusi pewartaan di peringkat negeri. Antara tapak-tapak makam yang telah diwartakan adalah Kompleks Makam Bukit Seluyut dan Kota Makam Tauhid. Sebahagian daripada tapak makam ini turut dilengkapi dengan fasiliti berbumbung dan berpagar.

Usaha lain juga kita adakan juga dari segi siri bengkel bertemakan sumbang saran berhubung pemeliharaan dan pemuliharaan tapak makam turut dijalankan bersama agensi berkaitan. Antara sumbang saran yang dicadangkan adalah pembangunan dari aspek fasiliti seperti penyediaan papan tunjuk arah, menaik taraf wakaf sedia ada, laluan ke kawasan makam, pembinaan pintu gerbang, laluan pejalan kaki, landskap, penyediaan jeti, wakaf pengunjung, parkir kereta, pagar dan aspek konservasi dan restorasi makam.

Hasil sumbang saran tersebut telah diserahkan kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi setelah program dilaksanakan bagi melihat semula potensi penambah baikan tapak dan makam bersejarah di daerah Kota Tinggi. Pelbagai agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, pejabat tanah, Tourism, MOTAC, Jabatan Warisan Negara, Perancang Bandar, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain telah dilibat samakan dalam sesi tersebut bagi pengisian cadangan dan saranan dalam memulihara kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya, melalui perbahasan Yang Berhormat ADUN Pemanis mengenai untuk mewujudkan portal khas bagi memperkenalkan dan menerangkan lebih jelas mengenai kebudayaan dan keseniaan yang ada di negeri Johor, pihak Yayasan Warisan Johor telah memperkenalkan dan menerangkan kebudayaan dan keseniaan yang ada di negeri Johor ini melalui kempen di media sosial melalui medium TikTok, Instagram dan Facebook yang saya boleh katakan ianya lebih menarik lebih ramai peminat untuk mencari penerangan tersebut.

Bertanya mengenai apa pula aset-aset keseniaan yang kita boleh persembah oleh Yang Berhormat ADUN Johor Jaya. Yayasan Warisan Johor telah mempromosi secara berterusan dengan memperkenalkan pakej Let’s Visit KWSAB pada tahun lepas yang turut dihasilkan secara dwibahasa melalui 4 tarikan utama iaitu Rumah Limas Johor yang menawarkan beberapa aktiviti seperti penerangan falsafah dan seni bina Rumah Limas Johor, keunikan resepi dan replika Sajian Warisan Johor, permainan tradisional, pemakaian busana Melayu asli, pengenalan aksesori hias dan jenis-jenis kemasan sanggul (local genius).

Kedua, Galeri Seni Johor yang mempamerkan lukisan-lukisan anak seni kelahiran Johor dan menawarkan beberapa aktiviti hands-on seperti tie dan dye serta teknik lorekan.

Ketiga, Galeri Tenun Johor yang merupakan bekas kediaman Tunku Fatimah (adinda Almarhum Sultan Sir Ibrahim) dan kini dijadikan lokasi utama untuk menghasilkan serta menempatkan koleksi Kain Benang Johor.

Yang Keempat, Rumah Zapin Johor yang menjadi lokasi wajib henti para pengunjung untuk mengenali 15 variasi Zapin Johor serta berpeluang mempelajari lima struktur asas tarian Zapin Johor; taksim, les, ragam, kopak dan wainab.

Pada tahun 2022, seramai 5,652 pelawat telah hadir ke KWSAB. Walau bagaimanapun selepas pelancaran pakej Let’s Visit KWSAB tahun lepas kehadiran pelawat meningkat kepada 70,608 orang dan sehingga Mac 2024, seramai 11,854 pelawat telah hadir ke KWSAB dan dijangka kehadiran pelawat tahun ini akan bertambah. Dengan peningkatan jumlah pengunjung yang hadir ke KWSAB, saya pasti 4 tarikan utama ini memberi rangsangan yang positif bagi mempromosi nilai dan budaya yang dimiliki oleh negeri Johor. Kita juga ada muzium-muzium dan galeri-galeri yang mampu menarik pelancong yang lebih cenderung untuk melawat ke tempat pelancongan yang unik dan juga bersejarah seperti Galeri Dato’ Onn di Batu Pahat, Muzium Kota Tinggi, Muzium Mersing dan Muzium Tokoh yang mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor juga telah memperuntukkan RM3 juta pada belanjawan tempoh hari bagi memulakan kerja-kerja konservasi, mekanikal dan elektrikal untuk dinaik taraf infrastruktur pelancongan kita.

Antara kelainan aset kesenian yang Johor boleh persembahkan adalah sajian Beriani Johor, Seni Tarian Zapin dan Kain Benang Johor yang merupakan sebagai Warisan Tidak Ketara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Bagi Sajian Warisan Johor iaitu Beriani Johor yang telah diberi tumpuan khusus melalui penyelidikan, kajian lapangan dari tiga daerah utama iaitu Batu Pahat, Muar dan Johor Bahru. Kita adakan Bengkel Sumbang Saran dan Seminar Sajian Warisan 2023 dengan menghimpunkan ahli akademik, pakar makanan warisan, institut pengajian tinggi, cef, jabatan kerajaan dan pengusaha Beriani Johor. Manakala bagi Seri Tarian Zapin Johor, Yayasan Warisan Johor telah usaha memartabatkan sehingga ke peringkat antarabangsa melalui penyenaraian dalam UNESCO.

Yayasan Warisan Johor juga turut mengangkat tenunan Kain Benang Johor ke peringkat antarabangsa. Pada tahun 2012, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bertitah untuk mengembalikan seni tenunan di negeri Johor. Seni tenunan yang dikenali sebagai Kain Benang Johor telah mendapat tempat dihati pelbagai kelompok masyarakat, daripada golongan bangsawan, kerabat diraja hingga pegawai kerajaan dan rakyat biasa. Kini, Yayasan Warisan Johor telah berjaya mempatenkan 10 rekaan songket dan Kain Benang Johor di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Menjawab kepada cadangan ADUN Pemanis untuk memindahkan pentadbiran dan pengurusan Majlis Kebudayaan Negeri Johor. Sebagaimana kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 18 Mac 1998, Pentadbiran Pengurusan Majlis Kebudayaan Negeri Johor diletak di bawah Yayasan Warisan Johor. Hal ini kerana, Yayasan Warisan Johor adalah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam memelihara warisan dan budaya negeri Johor sebagaimana yang termaktub melalui Enakmen Yayasan Warisan Negeri Bil. 7 Tahun 1988. Setiap kelulusan kewangan hendaklah melalui Mesyuarat Pengurusan Kewangan Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Majlis Kebudayaan Daerah dan Badan Gabungan hendaklah menyerahkan kertas cadangan program kepada Majlis Kebudayaan

Negeri Johor yang mana akan diputuskan di dalam Mesyuarat Pengurusan Kewangan dari masa ke semasa.

Pertubuhan dan persatuan kebudayaan seluruh negeri Johor juga dialu-alukan untuk menyerahkan cadangan program namun, tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan. Ianya adalah menjadi tanggungjawab bersama Yayasan Warisan Johor dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor mengurus aktiviti warisan, sejarah, seni dan budaya negeri Johor, merancakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian bersama-sama persatuan dan NGO Negeri Johor. Majlis Kebudayaan Negeri Johor meletakkan kepercayaan dan kepimpinan sepenuhnya kepada semua Majlis Kebudayaan Daerah dan Badan Gabungan yang berdaftar di bawah majlis dalam memberikan pandangan dan cadangan mengikut bidang dan cabang seni, budaya dan warisan negeri Johor.

Menjawab ulasan perbahasan Yang Berhormat ADUN Johor Jaya tentang usaha-usaha lain yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam mengiktiraf beberapa anugerah UNESCO dalam mempertahankan budaya negeri Johor menerusi inistiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Warisan Negara telah mencalonkan Chingay di bawah kategori Representative List of Intangible Cultural Heritage of Humanity pada tahun 2024. Kesenian tarian Zapin juga telah dicalonkan sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

Menyokong Pelan Pembangunan Strategik Organisasi Sektor Awam Yayasan Warisan Johor, Teras 1 Pemerkasaan bidang penyelidikan, pendidikan, seni persembahan dan pendokumentasian ke arah melestarikan khazanah Johor. Yayasan Warisan Johor telah mengambil langkah yang teliti dan pelaksanaan yang berperingkat sedari dulu lagi dan kini giat ditekankan sejak tahun 2022.

Dengan membawa tagline #YWJtoUNESCO yang secara rasmi dilancarkan pada 8 Mei 2024, jelas menunjukkan keseriusan Yayasan Warisan Johor dalam memacu kejayaan memperkasa dan menjunjung warisan seni budaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Yayasan Warisan Johor berhasrat besar agar pengenalan tiga produk warisan negeri Johor iaitu seni tarian Zapin Johor, Briyani Johor dan Kain Benang Johor untuk dibawa dalam pencalonan kategori The Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity, UNESCO.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulannya daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah diutarakan, sedikit sebanyak telah saya berikan pencerahan pada sesi sidang dewan akan soalan dan perkara yang telah ditanyakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua. Segala cadangan dan buah fikiran yang dilontarkan kepada saya sangat saya hargai dan alu-alukan. Bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, kalau tersilap tutur bicara, jemari disusun maaf dipinta. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh. Dijemput Yang Berhormat Bukit Permai, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala warabakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memulakan ucapan ini dengan merafak sembah dan menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mencemar duli berangkat dan seterusnya bertitah menyempurnakan Majlis Pembukaan Sidang DUN kali ini. Dengan mengambil muhasabah diri ke atas titah Tunku demi perjuangan kita untuk rakyat jelata di

seluruh pelosok Johor. Intipati titah Tunku jelas menggambarkan betapa pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar memenuhi aspirasi rakyat dan membawa Johor ke persada dunia sekali gus memancarkan iltizam pimpinan kita untuk mengangkat kehidupan rakyat sejagat menjadi sebahagian komuniti dunia yang terhebat. Menginsafi titah Tuanku, patik menjunjung titah Tunku, melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi negeri Johor yang kita cintai.

Menjunjung kasih ke atas titah Tunku berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan mahu melihat semua projek-projek infrastruktur seperti perumahan, pembangunan jalan raya dan projek tebatan banjir di Johor dibangunkan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Tentunya menjadi tanggungjawab saya sebagai EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menterjemahkan dalam melaksanakan tugas dan amanah yang perlu saya galas. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang Mulia ini yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang melibatkan bidang kuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi pihak Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya sememangnya amat mengalu-alukan pandangan, cadangan dan teguran juga kerjasama daripada rakan-rakan Yang Berhormat sama ada di sebelah sini mahupun di sebelah sana. Tentulah pendekatan saya akan memastikan semua perkara yang telah dibangkitkan akan diteliti oleh Ketua-Ketua Jabatan di bawah portfolio saya akan diambil tindakan sewajarnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang selamanya menjadi keutamaan kita bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya akan menjawab isu yang dibangkitkan dalam sesi penggulungan berdasarkan portfolio saya iaitu pertama, perumahan dan yang kedua, kerajaan tempatan dan yang ketiga perumahan. Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada 12 Yang Berhormat ADUN, YB Kukup, YB Sri Medan, YB Bukit Kepong, YB Permas, YB Tenang, YB Bukit Naning, YB Kemelah, YB Simpang Jeram, YB Pasir Raja, YB Mahkota dan YB Skudai, yang telah membahaskan isu perumahan. Kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor amat komited dalam memastikan setiap lapisan Bangsa Johor ini mempunyai aksesibiliti kepada pemilikan rumah terutamanya golongan miskin dan miskin tegar yang dikategorikan di bawah e-Kasih. Untuk itu kerajaan negeri telah memperkenalkan pembangunan Rumah Kasih Johor yang memberi fokus untuk membina rumah secara percuma. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan RKJ bagi tahun 2023 melibatkan 50 unit buah rumah telah berjaya diserahkan kepada para peserta pada bulan Mac iaitu Ramadan yang lalu melibatkan peruntukan sejumlah RM6,500,000.00. Ada yang sangat terharu, ada yang menangis, berpuluh-puluh tahun menyewa akhirnya memiliki rumah sendiri.

Selain itu, di dalam Ucapan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM17,000,000.00 bagi pembinaan tambahan 120 unit rumah di bawah Program Rumah Kasih Johor (RKJ). Dan sasaran sehingga 2026 sebanyak 500 unit rumah RKJ akan dibina kepada golongan sasaran iaitu miskin dan miskin tegar di seluruh negeri Johor dengan anggaran peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,000,000.00. Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh Sri Medan berkaitan jenis Rumah Kasih Johor yang ditetapkan mengikut profiling pemohon. Telah saya nyatakan dalam sesi soal jawab lisan 14 Mei 2024 bahawa untuk tahun 2024, beberapa penambahbaikan Rumah Kasih Johor telah dilaksanakan bagi mengoptimumkan lagi penggunaan peruntukan pembangunan RKJ agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai penerima. Kerajaan negeri melalui PKPJ telah meneliti semula reka bentuk, spesifikasi dan juga pembangunan Rumah Kasih Johor. Atas sebab itu, melalui sesi libat urus bersama Pegawai Daerah, penghulu, ketua kampung dan pemimpin setempat, pihak PKPJ telah mencadangkan 3 jenis Rumah Kasih setelah mengambil kira keperluan bilik mengikut

kesesuaian bilangan isi rumah sebagaimana berikut. Kalau dulu tahun 2023, Rumah Kasih Johor ada 3 bilik, 300, 754 sqft keluasan saiz. Harga dia RM100,000.00.

Untuk pelaksanaan penambahbaikan pada tahun 2024, Rumah Kasih kita pecahkan kepada 3 kategori. Pertama 1 bilik, keluasan 550 sqft RM75,000.00, dua bilik 600 sqft RM80,000.00 dan 3 bilik 660 sqft RM85,000.00.

Dan yang paling penting, selain itu, kerajaan negeri juga telah melonggarkan syarat bagi memastikan golongan sasar (e-Kasih) yang tidak memiliki tanah di mana pemohon hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis sahaja dari pemilik tanah yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat bagi membolehkan rumah secara percuma dibina oleh kerajaan. Sampai begitu sekali ya. Kita nak tolong memberi rumah percuma kepada golongan e-Kasih tetapi untuk mereka yang benar-benar layak. Kalau dulu kena ada geran, sekarang tak payah geran, kalau ada ibu bapa, ada adik beradik keluar akuan sumpah setuju bina, kita bina.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya, menyentuh permintaan oleh YB Bukit Naning, YB Simpang Jeram, YB Bukit Kepong berkaitan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik. Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam pembentangan belanjawan, sasaran rumah siap dibina untuk tahun 2024 iaitu tahun ini adalah sebanyak 5,134 unit, 30,000 unit rumah menjelang 2026. Itu sasaran untuk 5 tahun. Daripada angka tersebut, tahun 2022 menyaksikan sebanyak 5,161 unit rumah mampu milik telah berjaya disiapkan oleh pihak pemaju swasta, GLC Negeri Johor dan juga kerajaan persekutuan.

Selain itu bagi tahun 2023 pula, yakni tahun lepas, 4,278 unit telah pun disiapkan dibina dan diduduki oleh Bangsa Johor. Manakala bagi tahun 2025 dan 2026, sasaran rumah yang akan disiapkan adalah sebanyak 15,722 unit. Insya-Allah, sasaran yang ditetapkan oleh Yang Amat Berhormat dan kerajaan Johor dan dibantu oleh semua pihak sasaran untuk membina 30,000 rumah mampu milik sepanjang 5 tahun ini Insya-Allah, akan dicapai. Daripada jumlah itu, untuk daerah Muar sebanyak 279 unit. Untuk makluman 140 akan siap pada tahun ini manakala baki 139 unit lagi adalah pada tahun 2025 dan 2026. Jumlah rumah mampu milik ini kelihatan sedikit kerana tanah-tanah yang terlibat dalam pembangunan di daerah Muar adalah bersaiz kecil sekitar 10 ekar ke bawah. Di mana bilangan unit RMMJ amat berkait rapat dengan saiz tanah yang akan dibangunkan oleh pemaju. Inilah cabaran dan kekangan dalam pembinaan RMMJ. Suka juga untuk saya nyatakan di Dewan yang mulia ini, bermula akhir tahun lalu dengan bantuan YB ADUN Sungai Balang dan Pegawai Daerah Muar, kerjasama bersama Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Muar di bawah penyelarasan PKPJ sedang digerakkan taskforce Rumah Mampu Milik Muar di atas tanah kerajaan. Insya-Allah, menjelang Q1 2025 projek yang berkeluasan 23 ekar akan bermula apabila semua peringkat pentadbiran selesai dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh projek perumahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Tenang dan juga ADUN Gambir berkaitan projek yang telah dilancarkan tetapi tergendala dan tidak dibina. Menjawab soalan oleh ADUN Tenang berkaitan Rumah Mampu Milik Johor yang dilaksanakan oleh PIJ Holdings di Bukit Mambai, Labis yang telah dibuat Majlis Pecah Tanah iaitu pada tahun 2018. Pertama, projek ini melibatkan pembinaan RMMJ Johor. Kedua, keadaan tanah yang berbukit bukau menyebabkan kos awalan melibatkan infrastruktur dan kerja tanah mencecah RM18,000.000.00. Ketiga, PIJ Holdings tidak meneruskan projek pembangunan dan dimaklumkan bahawa tanah ini telah dijual oleh pihak swasta.

Menjawab persoalan YB ADUN Gambir berkaitan Projek RMMJ yang dilaksanakan oleh pihak PKPJ di Sagil, Tangkak. Pertama, pelancaran telah dibuat pada tahun 2018. Peralihan kerajaan baharu pada ketika itu telah menyebabkan projek ini tidak diteruskan. Kajian kebolehlaksanaan kini sedang diperinci bersama pihak KPRJ untuk meneruskan semula cadangan pembinaan RMMJ ini. Untuk makluman Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, sebelum ini, kebanyakan projek yang dilancarkan pada tahun 2017 dan 2018 belum pun mendapat kelulusan PBT dan Pentadbir Tanah. Namun di bawah kepimpinan baharu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi, tiada lagi projek yang akan dilancarkan tanpa kelulusan PBT dan Pentadbir Tanah serta lengkap kajian pelaksanaannya. Maknanya, bila dah lulus semua teknikal, dah lulus KM, SBKS, bina, baru lancar.

Yang Berhormat Permas juga turut membangkitkan soal pembinaan RMMJ haruslah memenuhi keperluan rakyat serta pelaksanaan, perbincangan dengan pemaju mestilah realistik serta mendapat keputusan menang-menang antara pemaju dan kerajaan negeri. Ini kita setuju. Dan itulah yang sedang dilakukan ketika ini. Untuk makluman Yang Berhormat Permas dan Yang Berhormat Tiram, Alhamdulilah melalui pelaksanaan PDRC, Plan Design Review Committee, dengan izin. Sejak Julai 2022 di kawasan Permas dan Tiram sahaja kerajaan negeri telah berjaya mengikat pemaju membina 13 projek perumahan melibatkan 3,524 unit. 1,430 unit adalah PPR dan 2,094 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2026.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ADUN Kemelah dan ADUN Pasir Raja ada menyatakan tentang memperbanyakkan pembinaan PPR di kawasan luar bandar. Bagi menjawab persoalan oleh ADUN Kemelah berkaitan PPR sehingga kini masih belum ada perancangan PPR baharu buat masa ini tetapi di Segamat mempunyai PPR Batu Anam sebanyak 102 unit dan RSK Segamat 47 unit dengan keseluruhan 149 unit.

Bagi menjawab persoalan ADUN Pasir Raja berkaitan PPR setakat ini di dalam Parlimen Tenggara terdapat PPR Bandar Tenggara yang mempunyai 400 unit dan dijangka siap September 2024. Selain itu, ada 2 projek lagi yang berdekatan iaitu PPR Pengerang Kechil, Kota Tinggi dan PPR Sembrong, Kluang yang berjumlah 700 unit. Selain 15,631 unit yang telah ditawarkan kepada Bangsa Johor.

Alhamdulillah, Insya-Allah Johor akan menerima 2 lagi projek PPR iaitu di Kluang dan di Larkin. 2 projek PPR baharu ini akan dilaksanakan proses Kajian Nilai, Kajian Kejuruteraan dan Semakan Nilai oleh pihak KPKT bagi memperincikan skop dan kos pembangunan bagi tujuan penyediaan dokumen pada tahun ini. Bukan itu sahaja, kerajaan negeri melalui PKPJ juga telah menghantar permohonan senarai tapak bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri Johor di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Tahun 2025, untuk tahun depan. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada pihak KPKT pada 3 Mac 2024 melibatkan 3 tapak di kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Kerajaan Johor berusaha sehabis baik, merayu kepada KPKT, YB Menteri dan Perdana Menteri untuk meluluskan permohonan PPR dan juga Perumahan Madani untuk Bangsa Johor. Tugas kita di kerajaan negeri ini siapkan tanah. Selesaikan semua isu tanah dan kita minta di peringkat KPKT ini kita ada tanah, kerajaan ada tanah, mohon bajet untuk PPR dan rumah Perumahan Madani.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ADUN Kukup telah membangkitkan soal projek perumahan terbengkalai di kawasan Kukup iaitu Taman Satria yang telah terbengkalai semenjak tahun 2001 selama 23 tahun. Untuk makluman Yang Berhormat, projek terbengkalai atau projek sakit bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi terletak di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), projek-projek yang menghadapi masalah sama ada sakit mahupun terbengkalai, ianya akan dikendalikan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Jabatan Perumahan Negara atau

dipanggil JPN. Namun begitu, kerajaan negeri sedar bahawa pembeli-pembeli yang terlibat di sini dalam 50 pembeli, dengan isu berkaitan projek sakit dan terbengkalai adalah rakyat negeri Johor. Begitu jugalah juga, begitu jugalah dengan projek Taman Satria yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Kukup. Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, untuk projek Taman Satria, kerajaan negeri baru sahaja memulakan intervensi pada akhir tahun lalu. Kesukaran menyelesaikan projek ini adalah apabila tuan punya syarikat asal telah meninggal dunia. Apabila PKPJ dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara mencari waris, terdapat 19 orang yang hadir ke pejabat saya untuk sesi perbincangan. Mereka hadir ini pula tidak ada pengalaman untuk, tentang pembinaan perumahan. Menyelesaikan sebuah projek sakit atau terbengkalai yang memerlukan kami berunding dan bekerjasama dengan pemaju asal projek tersebut. Projek ini sangat lama terbengkalai. Saya sendiri untuk menyelesaikan juga rumit.

Pengalaman menyelesaikan projek sakit sebelum ini seperti Residensi Pr1ma Kota Tinggi, 625 unit di bawah Kawasan Yang Berhormat DUN Pasir Raja memerlukan tempoh satu tahun dengan 12 kali sesi mesyuarat teknikal dan perbincangan. Menyelesaikan projek sakit di kawasan Yang Berhormat Panti memerlukan masa lapan bulan dengan sembilan kali mesyuarat teknikal melibatkan agensi negeri dan persekutuan. Menyelesaikan projek sakit 20 tahun yang melibatkan 157 unit di kawasan ADUN Kempas, kita ke tapak, dimaki hamun dan hampir dipukul. Kita cuba bantu keluarkan CCC untuk mempercepatkan serahan kunci, tetapi pemaju pula minta masa untuk menggantikan paip lama disebabkan paip lama yang tidak memenuhi syarat Ranhill SAJ.

Menyelesaikan projek sakit di Endau, Mersing, Kawasan Yang Berhormat Endau yang terbengkalai sejak 15 tahun yang lalu, melibatkan 78 unit rumah kos rendah, intervensi kerajaan sejak Januari 2023, tiga kali pasukan turun ke tapak, tujuh kali kita bermesyuarat teknikal bersama agensi negeri dan persekutuan. Insya-Allah lah sudah hampir selesai, hanya tinggal satu sahaja yakni tekanan air Ranhill SAJ berpunca daripada kebocoran paip yang menyebabkan tekanan air tidak mencapai lima par, secara konsisten selama 24 jam. Maksudnya, paip itu sudah paip lama, bila Ranhill SAJ buat tekanan, spek dia 5 bar untuk bertahan 24 jam, tetapi capai sekitar dua bar sahaja. Insya-Allah Yang Berhormat Kukup, untuk projek Taman Satria, saya dan pasukan usahakan penyelesaian. Sangat susah tetapi saya dan pasukan tidak akan mengalah. Insya-Allah sesi mesyuarat seterusnya, saya akan pastikan PKPJ dan pejabat saya libatkan Yang Berhormat Kukup untuk bersama-sama agar YB boleh menyalurkan maklumat kepada rakyat yang telah teraniaya lebih 23 tahun.

Johor negeri permata gemerlapan, tanahnya subur, sentosa dan aman. Agenda JS-SEZ sama jayakan, Johor maju terus ke hadapan. Kita semua sedar dan tahu, Johor-Singapore Special Economy Zone akan memberikan impak besar kepada Malaysia, khasnya negeri Johor. Namun begitu kita tidak boleh menafikan kerisauan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan keluh kesah rakyat. Adakah dengan adanya JS-SEZ ini akan memberi kesan kepada sektor perumahan, khususnya peningkatan harga rumah? Keluh kesah dan kerisauan ini juga disuarakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kepada saya dan pasukan PKPJ. Kami ingin memberi jaminan bahawa dengan adanya JS-SEZ ini, kita di peringkat kerajaan Johor akan terus mempertahankan polisi dan dasar perumahan Johor supaya rakyat tidak menjadi mangsa dengan arus pembangunan yang pesat dan dalam masa yang sama, kita akan terus menyokong pembangunan JS-SEZ ini untuk galakkan perniagaan dan pelaburan, akhirnya akan memberi manfaat kemakmuran dan kemajuan kepada Bangsa Johor dan negeri Johor demi mencapai negeri maju 2030.

Adalah tepat pada masanya bagi menjayakan hasrat ini, maka semua pihak, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, pemaju swasta dan GLC harus berganding bahu ke arah menjayakan agenda Perumahan Mampu Milik bagi mencapai matlamat menyediakan rumah mampu milik

yang mencukupi dan mampu dimiliki oleh golongan sasar. Untuk di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai dan Pengerang dan Pontian, di dalam Kawasan Yang Berhormat Kota Iskandar, Skudai, Perling, Kempas, Permas, Johor Jaya, Tiram, Yang Berhormat Puteri Wangsa, Tanjung Surat, Penawar, Pekan Nanas dan Yang Berhormat Kukup, anggaran sebanyak 27,000 unit rumah berharga di antara RM100,000.00 sehingga RM300,000.00 dalam sasaran pembangunan Rumah Mampu Milik Johor. Contoh di DUN Kota Iskandar melibatkan pembangunan Rumah Mampu Milik Johor yang besar iaitu Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor dengan jumlah 2,560 landed melibatkan pelbagai komponen harganya sekitar RM150,000.00 sehingga RM300,000.00. Bagi Taman Pulai Mutiara, ini apartment strata sebanyak 1,060 unit disediakan, 614 unit telah ditawarkan tahun ini dan baki 446 unit berharga RM150,000.00 sehingga RM300,000.00 akan ditawarkan sehingga tahun 2026. Satu lagi projek Rumah Mampu Milik Johor ialah di Taman Bukit Senadi, Senadi strata 260 unit, 130 unit berharga RM300,000.00 telah ditawarkan pada tahun ini dan baki 130 unit lagi yang berharga RM150,000.00 akan ditawarkan sehingga tahun 2026. Dalam masa yang sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengarahkan saya dan PKPJ untuk melaksanakan sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada setiap lapisan masyarakat supaya polisi perumahan di kawasan JS-SEZ ini dapat ditambah baik dan holistik serta dapat memenuhi pelbagai segmen perumahan untuk semua golongan Bangsa Johor.

Jabatan Bomba. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam sesi perbahasan terdapat dua ADUN yang membangkitkan isu keperluan Balai Bomba di kawasan mereka iaitu ADUN Sri Medan dan ADUN Tiram. Dalam soal jawab lisan ADUN Sedili juga turut membangkitkan persoalan yang sama. Untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat Tiram dan Yang Berhormat Sedili, bagi setiap suatu pembinaan baru, terdapat beberapa faktor yang perlu diperhalusi iaitu pertama, risiko kawasan, kepadatan penduduk, ketiga keluasan kawasan jagaan, keempat geografi, kelima keperluan strategik. Walau bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menetapkan National Average Response Time (NART) dengan izin, adalah di bawah 10 minit dengan sasaran pencapaian sebanyak 63%. Yang ini saya mohon Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat ADUN Tiram dengan Yang Berhormat ADUN Sedili boleh panjangkan surat permohonan untuk diperhalusi dan dipertimbangkan.

Hotspot banjir, Kerajaan Tempatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya beralih kepada Kerajaan Tempatan, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Dewan yang mewakili suara rakyat dan memberikan sumbangan yang bernilai kepada pembangunan tempatan negeri Johor. Bagi portfolio Kerajaan Tempatan yang melibatkan 16 Pihak Berkuasa Tempatan, kami telah berusaha keras untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Dalam sesi ini, ada beberapa perkara yang ingin dijawab berdasarkan perbahasan oleh Yang Berhormat Ahli Dewan.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagaimana isu yang telah dibangkitkan berkenaan hotspot banjir dan banjir kilat oleh ADUN Johor Lama, ADUN Sri Medan, ADUN Bukit Batu, ADUN Pemanis, ADUN Parit Yaani dan ADUN Tiram, Pihak Berkuasa Tempatan yakni PBT sentiasa memastikan infrastruktur seperti sistem saliran, kolam tadahan, perangkap sampah diselenggarakan dengan baik. Bagi keseluruhan negeri Johor, terdapat 117 hotspot banjir yang dikenal pasti. Antaranya Majlis Bandaraya Johor Bahru sebanyak 23 kawasan hotspot, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri 4 kawasan hotspot, Majlis Bandaraya Pasir Gudang 16, Majlis Perbandaran Kulai 7 kawasan hotspot. Jumlah Kawasan hotspot banjir bagi PBT Greater JB adalah sebanyak 50 kawasan hotspot banjir. Baki sebanyak 67 kawasan hotspot banjir adalah melibatkan PBT-PBT lain. Mesyuarat penyelarasan hotspot banjir telah dijalankan melibatkan koordinasi Bersama PBT, JPS dan JKR bagi mengenal pasti isu dan punca masalah, cadangan penambahbaikan, agihan

peruntukan bagi pengurusan hotspot banjir atau banjir kilat di negeri Johor. Pelan Tindakan Kawalan Banjir jangka pendek dan jangka panjang telah diwujudkan dan diselaraskan di peringkat PBT berkenaan dengan agensi yang terlibat.

Dalam ucapan Belanjawan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor menyatakan inisiatif bagi menangani isu banjir ini diperuntukkan sejumlah RM78,290,000.00. Perancangan Pihak Berkuasa Tempatan negeri Johor untuk projek-projek tebatan banjir bagi tahun 2024 terbahagi kepada dua iaitu sebanyak 16 projek pembinaan tebatan banjir yang berjumlah RM20,300,000.00 dan 70 projek penyelenggaraan saliran bernilai RM57,990,000.00. Peruntukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan ini adalah bagi tujuan pengurusan berkaitan banjir dan penyelenggaraan saliran yang meliputi kerja-kerja penggalian dan pembersihan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir. Tahun ini 2024, peruntukan untuk 16 PBT kita dah allocate kan RM78,600,000.00. Tahun lepas 2023, RM62,000,000.00. Peningkatan bajet RM16,600,000.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penyelarasan aplikasi parking. Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara kedua yang diketengahkan oleh ADUN Johor Jaya dan ADUN Bentayan adalah berkenaan penyelarasan sistem aplikasi parking bagi seluruh Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, satu kerjasama strategic telah diwujudkan The Greater JB iaitu MBJB, MBIP, MBPG dan MPKu bergerak sehaluan dalam perancangan pembangunan serta urus tadbir berasaskan permuafakatan yang kukuh dan konsisten.

Bagi pelaksanaan aplikasi pembayaran parkir di setiap PBT Johor, pilot project ini adalah di bawah Majlis Perbandaran Iskandar Puteri dan dijalankan di kawasan pentadbiran Iskandar Puteri sejak 1 April 2024. Ini pilot run project. Sistem aplikasi parkir secara digital ini juga dikenali sebagai Parkmax@Johor. Tempoh pelaksanaan pilot project bagi aplikasi Parkmax@Johor adalah sehingga 31 Mei 2024. Sebaik sahaja tamat tempoh uji cuba ini, satu sesi penilaian dan tambah baik sistem akan dijalankan sebelum ia diguna pakai di kawasan pentadbiran The Greater JB.

Untuk makluman, Majlis Perbandaran Iskandar Puteri sudah bermula 1 April dalam pilot run project. Untuk Majlis Perbandaran Pasir Gudang akan bermula Q1 2025. Untuk Majlis Perbandaran Kulai Q1 2025. Untuk Majlis Bandaraya Johor Bahru sebab ada kontrak lama yang akan tamat, hanya akan tamat 30 April 2026, sistem baru ini hanya akan bermula 1 Mei 2026. Seterusnya aplikasi ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh kawasan PBT negeri Johor sebagai satu aplikasi tempat letak kenderaan yang tunggal yang akan memudahkan rakyat dalam membuat pembayaran petak letak kenderaan dan penguatkuasaan oleh pihak PBT. Maknanya akan datang di seluruh 16 PBT hanya menggunakan satu aplikasi sahaja.

Isu pokok tumbang. Yang berhormat Datuk Speaker, semalam ADUN Mahkota ada menyatakan kebimbangan berkaitan tragedi pokok tumbang yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini. Di peringkat negeri Johor, pengurusan penyelenggaraan pokok di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan telah mempunyai perancangan dan pelaksanaan bagi menangani pokok-pokok tua. 16 PBT telah memperuntukkan sejumlah RM42,800,000.00 bagi cantasan dan penebangan pokok manakala sejumlah RM38,400,000.00 bagi penyelenggaraan dan penjagaan pokok. Bagi pokok yang telah ditebang, ianya boleh digantikan dengan penanaman pokok baru, sebanyak 5,400,000.00 diperuntukkan untuk tujuan penanaman pokok baharu, termasuk penggantian pokok yang ditebang di semua 16 PBT Pihak Berkuasa Tempatan. Oleh yang demikian, Pihak Berkuasa Tempatan telah

mempunyai rancangan dan pelaksanaan bagi urusan pokok-pokok tua yang dijalankan secara berperingkat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata, saya amat yakin dan percaya dalam langkah perjalanan kita untuk bergerak ke arah Maju Johor, selaku Wakil Rakyat, kita perlu terus beristiqamah serta mengambil iktibar dan ikhtiar, berpayung paksi dari Titah Duli Yang Amat Mulia Tuanku setiap Wakil Rakyat wajar untuk memuhasabah diri kerana perjuangan kita tiada titik nokhtahnya dan tiada batas sempadan kaum apa lagi agama.

Saya memohon maaf dan memohon ampun dan maaf atas segala kelemahan dan kekurangan saya dan pasukan dalam menangani isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan. Sesungguhnya saya dan pasukan sentiasa berusaha sehabis baik, sedaya upaya dengan tunjuk ajar, nasihat dan panduan dari Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Semoga Johor akan terus makmur, maju dan berdaya tahan. Teluk Belanga baju tradisi, samping bebenang indah tenunan, Johor Maju menjadi visi, untuk hari ini dan masa depan. Johor maju kita jayakan, pemimpin dan rakyat berganding bahu, kuatkan tekad capai tujuan, ayuh bersama kita maju. Sekian, wabillahiataufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai. Dijemput Yang Berhormat Buloh Kasap, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya, patik mewakili Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor serta seluruh rakyat DUN Buloh Kasap, dengan hormat dan takzimnya menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. di atas perkenan dan rahmatnya, persidangan Dewan kali ini telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Insya-Allah, segala titah ucapan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor yang sarat dengan nasihat, teguran dan pandangan tentunya akan menjadi panduan dan pegangan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mentadbir negeri Johor dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bicara ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang menyentuh dan membangkitkan isu-isu berkaitan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar negeri Johor, termasuk juga mengenai cadangan dan pandangan yang dilontarkan. Antara Yang Berhormat yang membangkitkan isu ini termasuklah Yang Berhormat Kukup, Johor Lama, Sri Medan, Bukit Kepong, Kahang, Bekok, Sungai Balang, Bukit Naning, Senggarang, Jementah, Layang-Layang, Pasir Raja dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha untuk mencapai negeri maju menjelang 2030, segala strategi dan objektif utama bagi kesemua dasar-dasar yang dilakukan akan dipastikan agar setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan, termasuk masyarakat kampung, FELDA, FELCRA dan masyarakat Orang Asli. Umumnya, negeri Johor mempunyai 2,621 kampung termasuk kampung induk dan kampung rangkaian yang diterajui oleh 667 ketua kampung, 73 rancangan FELDA, lapan penempatan FELCRA dan 60 perkampungan Orang Asli. Sebagai inisiatif telah dan akan dijalankan bagi tujuan pembangunan luar bandar di Johor. Di kesempatan ini, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan

terutamanya pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah memperuntukkan lebih RM200,000,000.00 pada tahun 2024, bagi pelaksanaan program dan projek baharu dan sambungan pelbagai aspek sama ada dari segi pembangunan sosial, ekonomi, infrastruktur dan kemudahan serta pembangunan modal insan komuniti luar bandar. Antaranya merangkumi peruntukan RM8,000,000.00 bagi Program Ameniti Sosial, RM9,500,000.00 bagi projek jalan perhubungan desa, RM6,100,000.00 juta bagi Pembangunan Orang Asli, RM42,750,000.00 bagi pembangunan wilayah KEJORA, RM4,280,000.00 bagi pembangunan baik pulih Tabika KEMAS dan sebagainya.

Selain daripada KKDW, pihak FELDA Wilayah Segamat dan Johor Bahru juga telah diperuntukkan lebih RM100,000,000.00bagi pelaksanaan projek jalan pertanian dan jalan kampung FELDA pada tahun ini. Kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan Geran Pembangunan JKKR dan MBFM negeri Johor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,060,000.00. Ia telah disampaikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di FELDA Pemanis 1 pada 28 April 2024 yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya untuk permulaaan ini untuk menjawab isu yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang secara terperinci mengenai status semasa berkenaan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang. Untuk makluman Yang Berhormat Kahang, projek Bekalan Air Luar Bandar ini adalah projek yang telah pun diluluskan sejak tahun 2015 lagi. Sejak itu, pelbagai cabaran dihadapi hingga ia tertangguh sehingga hari ini. Sememangnya projek Bekalan Air Luar Bandar Kampung Orang Asli Sedohok ini mendapat perhatian khusus daripada Pejabat Daerah Kluang dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beberapa siri mesyuarat dan perbincangan antara jabatan dan agensi berkaitan telah dilaksanakan bagi memastikan tindakan dan susulan diambil oleh pihak yang berkaitan. Kerajaan negeri memandang serius dan bersimpati dengan Yang Berhormat Kahang dan penduduk terlibat. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri telah mengarahkan kami mengikuti dengan dekat akan isu ini. Diperingkat kerajaan negeri turut dibangkitkan dalam mesyuarat tindakan negeri. Saya sendiri Yang Berhormat Datuk Speaker, telah membangkitkan perkara ini terus kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semasa Mesyuarat EXCO-EXCO Luar Bandar minggu lepas iaitu 10 Mei 2024.

Status semasa projek ini adalah dalam peringkat pra pelaksanaan dan dokumen tender kini sedang disediakan. Kelulusan projek asal bernilai RM4,500,000.00, merangkumi skop pembinaan tangki air, rumah pam, sistem perpaipan dan paip agihan. Walau bagaimanapun, hasil reka bentuk dan spesifikasi mendapati terdapat keperluan penambahan kos projek, antara disebabkan oleh yang pertama, pertambahan jumlah rumah penduduk iaitu daripada 55 buah rumah kepada 62 buah rumah. Yang kedua, keperluan teknikal reka bentuk bagi memenuhi piawaian Ranhill SAJ. Yang ketiga, peningkatan kos mekanikal, elektrikal dan kos semasa bahan binaan serta yang keempat, kos tambahan perunding utama, mekanikal dan elektrikal dan juruukur bahan.

Sebagai makluman juga, projek ini telah selesai pengesahan dan kelulusan reka bentuk terperinci yang telah dipersetujui pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd, manakala proses pengambilan tanah tambahan bagi tapak rumah pam dan tapak tangki air kini dalam fasa akhir dan dijangka sesi perbincangan seksyen 8, Akta PBT iaitu Akta Pengambilan Balik Tanah akan diadakan pada 27 Mei 2024. KKDW juga telah mengemukakan permohonan kelulusan Notice of Change atau NOC, kenaikan kos kepada Kementerian Ekonomi daripada kelulusan asal RM4,500,000.00 kepada RM9,000,000.00 dan keputusan dijangka diperolehi dalam tempoh sebulan. Projek akan segera ditender setelah kedua-dua urusan PBT dan urusan NOC ini diselesaikan. Saya telah mendapat arahan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar

Johor agar memastikan isu PBT dan NOC ini diberi perhatian oleh jabatan dan pihak yang terlibat. Jika dilihat kepada kenyataan di atas tadi, iaitu sesi perbicaraan seksyen 8 Akta PBT diadakan pada 27 Mei ini, manakala keputusan NOC dijangka Jun 2024 maka, kerajaan negeri akan dan mesti diberi laporan oleh pihak yang terlibat secara berkala setiap bulan berkaitan perkara ini sehingga selesai dilaksanakan.

Pembangunan Orang Asli sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri Johor. Selain daripada komitmen kerajaan negeri untuk pembangunan masyarakat Orang Asli lebih daripada RM1,000,000.00. Pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi JAKOA juga telah memperuntukkan sebanyak RM6,129,000.00 pada tahun 2024 merangkumi bagi projek Bekalan Air Luar Bandar, Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial, Pembangunan Ekonomi dan Keusahawan dan sebagainya.

Untuk makluman Yang Berhormat Bekok, Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA menjalankan Projek Bantuan Rumah Orang Asli selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan menyediakan tempat kediaman yang lebih selesa dan selamat. Penilaian mereka yang layak dilakukan oleh JAKOA daerah dan permohonan akan diangkat ke peringkat ibu pejabat untuk kelulusan. Antara kriteria yang diambil kira adalah status telah berkahwin, bapa tunggal dan ibu tunggal serta jumlah ahli isi rumah yang ramai. Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2024, JAKOA Johor telah menerima sebanyak 100 permohonan bina baharu dan 150 buah permohonan baik pulih di seluruh negeri Johor dan jumlah ini sering meningkat dari masa ke semasa. Untuk itu, pemilihan dan kelulusan adalah berdasarkan keutamaan yang lebih mendesak. Untuk tahun 2024 ini misalnya, JAKOA Johor telah menerima peruntukan berjumlah RM1,044,000.00 dan telah diagihkan bagi pelaksanaan 9 buah projek bina baharu dan tiga buah, 30 buah projek baik pulih di seluruh negeri Johor. Kos bagi bina baharu rumah ini adalah bernilai RM66,000.00, manakala kos baik pulih adalah bernilai RM15,000.00 dan untuk makluman Bekok, di DUN Bekok, satu unit bina baharu dan dua unit baik pulih rumah akan dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sangat prihatin terhadap Kebajikan dan perihal masyarakat Orang Asli Negeri Johor. Pertama kalinya untuk tahun 2024 ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengumumkan peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2024 yang lalu iaitu lebih RM1,000,000.00 untuk elaun batin membangunkan kampung-kampung contoh melalui Kampung Orang Asli Sejahtera serta pembangunan kemasyarakatan Orang Asli termasuk akan menjalankan Karnival Orang Asli Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT KKDW pula yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Balang, pada tahun 2023, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT telah melaksanakan 155 buah bina baharu dan 313 buah baik pulih bagi golongan miskin dan miskin tegar luar bandar di Johor. Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14,770,000.00. Ini termasuklah enam buah bina baharu dan 16 baik pulih rumah di kawasan DUN Sungai Balang.

Pada tahun 2024 pula, KKDW dijangka akan melaksanakan sebanyak 152 unit bina baharu dan 309 unit baik pulih dengan nilai peruntukan lebih kurang RM16,000,000.00. Sehingga kini, 128 unit bina baharu dan 156 unit baik pulih telah dan sedang dalam proses kelulusan bagi arahan pelaksanaan. Justeru itu, terdapat baki kekosongan lebih kurang 100 unit kuota PPRT bagi skop baik pulih yang boleh dicadangkan oleh Ahli Yang Berhormat berkenaan program ini. Untuk kehadapan ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyarankan pihak KKDW Johor supaya merujuk pejabat ADUN agar semua ADUN tidak tertinggal daripada pembinaan baharu dan baik pulih rumah di kawasan masing-masing. Kerajaan negeri komited

untuk memperkasa institusi ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, JPKK dalam negeri Johor. Selain daripada komitmen kerajaan negeri dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan ketua kampung negeri dan daerah berjumlah RM120,000.00, inisiatif tambahan elaun ketua kampung sebanyak RM300.00, Bantuan Khas Hari Aidilfitri RM500.00 kepada ketua-ketua kampung berjumlah RM335,500.00, bantuan peralatan aktiviti gotong-royong kampung berjumlah RM1 juta dan sebagainya. Kerajaan negeri juga telah bekerjasama dengan pihak Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) bagi menganjurkan pelbagai kursus kepimpinan dan profesionalisme kepada ketua kampung dan jawatankuasanya.

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, pada tahun 2023, 9 siri pelbagai kursus termasuklah Kursus Pemerkasaan Biro Institusi Pentadbiran Peringkat Kampung (IPKK), Kursus Kepimpinan MyDesa dan Program Profesionalisme Institusi Ketua Kampung Negeri Johor telah diadakan dengan penglibatan semua ketua kampung dalam negeri Johor dan 300 orang dalam kalangan Jawatankuasa Biro JPKK. Pada tahun 2024, seramai 130 orang ketua kampung telah menghadiri kursus Latihan Asas Pertahanan Awam JPKK Negeri Johor anjuran Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah pada 8 hingga 10 Mac 2024. Kursus ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran ketua kampung dari segi menyelamat dan peka terhadap sebarang bencana terutamanya dalam persekitaran lingkungan kampung masyarakat mereka.

Anugerah Aspirasi Desa Madani, dianjurkan pada tahun 2024 bagi memberi pengiktirafan kepada kampung yang berjaya menzahirkan aspirasi kampung sejahtera selari dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) serta konsep Malaysia Madani. Negeri Johor telah menghantar 10 pencalonan, iaitu satu kampung mewakili setiap daerah. Kategori yang dipertandingkan adalah yang pertama Anugerah Khas Ekonomi Unggul, yang kedua Anugerah Khas Tadbir Urus Berwibawa, yang ketiga Anugerah Khas Desa Sejahtera, yang keempat Anugerah Khas Modal Insan Berkualiti, yang kelima Anugerah Khas Inovasi dan Aspirasi serta Anugerah Khas Desa Mampan.

Untuk makluman Yang Berhormat Senggarang, kesemua enam kategori ini hanya dipertandingkan di peringkat kebangsaan sahaja dan setiap anugerah ini akan menerima hadiah berupa wang tunai. Untuk makluman juga, insentif RM3,000.00 kepada setiap kampung yang dicalonkan akan disalurkan selepas 15 Mei 2024 ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Balang, inspirasi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di dalam Program Johor Bersih agar Bangsa Johor harus mengekalkan budaya menyemai semangat bergotong-royong dan juga sebagai persediaan menghadapi risiko. Oleh itu, kerajaan negeri telah mengembalikan semula kerja-kerja penyenggaraan parit-parit saliran kepada pengurusan JPKK secara gotong-royong dengan kaedah perolehan yang lebih teratur mematuhi Pekeliling Perbendaharaan PK2.12 (Perlaksanaan Projek Kecil Secara Gotong Royong). Ini bermakna, pihak JPKK juga perlu memperkemaskan pentadbiran agar boleh menerima arahan kerja dan menerima bayaran selepas kerja siap. Pelaksanaan kerja yang telah disempurnakan oleh JPKK ini pada penghujung Februari tahun ini adalah perintis kepada latihan semula JPKK dalam mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan. Ini termasuk mematuhi spesifikasi, arahan, pelaporan dan mengisi beberapa format agar proses semakan dan pembayaran lancar oleh jabatan.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerja pembersihan JPKK yang telah ditetapkan dengan harga RM1.50 semeter yang dahulunya RM0.18 semeter adalah bagi pelaksanaan, saya ulang. Untuk makluman Yang Berhormat, kerja pembersihan JPKK yang telah ditetapkan dengan harga RM1.50 semeter yang dahulunya RM0.18 semeter adalah bagi pelaksanaan

kerja secara gotong-royong, dan bukannya melantik kontraktor. Manakala skop kerja yang ditetapkan hanya memesin rumput di sepanjang tebing parit kampung. Bayaran ini merupakan insentif kerajaan kepada pihak JPKK dalam menguruskan kerja secara gotong royong. Bagi daerah Muar, semua JPKK telah dimaklumkan bahawa JPS akan menawarkan kesemua parit-parit yang ada di daerah Muar kepada JPKK. Pihak JPS mensyaratkan JPKK untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang mampu untuk dilaksanakan secara gotong royong sahaja. Bagi parit-parit yang terlalu semak dan perlu penggalian semula, pihak JPS bercadang akan melaksanakan dengan menggunakan jentera terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada JPKK.

Untuk mematuhi peraturan kewangan, mana-mana tuntutan kerja perlu disemak terlebih dahulu oleh pegawai di tapak sebelum proses pembayaran dilakukan. JPS tertakluk kepada prosedur bayaran yang telah ditetapkan oleh pihak kewangan kerajaan negeri. Pihak jabatan telah menyediakan format-format bagi tujuan tuntutan bayaran JPKK. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelewatan yang berlaku disebabkan oleh dokumen tuntutan bayaran oleh JPKK yang tidak lengkap. Status semasa pembayaran terkini untuk JPKK di daerah Muar ialah jumlah kerja yang ditawarkan 93 telah selesai bayaran 80 dalam proses lima, belum terima tuntutan empat dan ditolak empat dan diarah buat pembetulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Bukit Kepong, Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang sedang berjalan di Felda Maokil 1 & 2 adalah sebanyak 540 unit. Daripada 540 unit status terkini kerja fizikal telah berjalan 97.83% dan dijangka siap 30 Jun 2024 bagi CCC. Untuk makluman terkini, pada 25 April 2024 telah di adakan satu mesyuarat penyelarasan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA bersama YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Pegawai Daerah Muar, Pentadbir Tanah Muar dan Pegawai FELDA untuk membincangkan penyelesaian isu-isu projek ini. Sehubungan dengan itu, hasil perbincangan yang telah dipersetujui pihak FELDA diminta untuk menyediakan perancangan bagi kemasukan segera sebaik sahaja projek ini mendapat CCC. Pejabat Daerah pula akan membantu dari segi pengurusan tanah manakala Yang Berhormat Bukit Pasir akan membantu mempercepatkan proses yang mana melibatkan agensi di bawah seliaan seperti JKR, TNB dan RSAJ.

Untuk makluman Yang Berhormat Kahang pula, status semasa bagi permohonan Lot Perumahan Generasi ke-2 di FELDA Ulu Pengeli dan FELDA Ulu Belitong kini sedang dalam siasatan dan pelaporan oleh Pejabat Tanah Daerah Kluang berikutan terdapat beberapa isu yang perlu dibuat pindaan. Berkenaan permohonan lot Perumahan Generasi ke-2 di FELDA Ulu Dengar dan FELDA Bukit Tongkat, untuk makluman Yang Berhormat Kahang, kelulusan daripada Ibu Pejabat FELDA telah diperolehi pada 22 Mac 2024 dan kini sedang dalam tindakan jawatankuasa yang masih 12 dalam proses pengisian borang untuk dikemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah Kluang. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Sedili dan Johor Lama dan mengambil maklum serta perhatian terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan isu Rumah Generasi Kedua di tempat masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan telah membangkitkan tentang bagaimana pendekatan kerajaan untuk mengurangkan jurang antara keluasan tanaman sawit dengan tanaman agromakanan bagi menyokong usaha untuk meningkatkan tahap keterjaminan makanan di negeri Johor dan negara amnya. Terima kasih YB atas keprihatinan dalam perkara ini. Untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan dan Bukit Naning, isu keselamatan bekalan makanan di dalam negara juga merupakan antara isu penting di Johor dan kerajaan negeri sentiasa memberi fokus supaya dapat memperluaskan kawasan

tanaman agromakanan, termasuklah kawasan-kawasan tanaman kelapa sawit yang telah terbiar terlalu lama dan tidak lagi produktif untuk dimajukan. Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sentiasa bersedia untuk membantu memajukan tanah-tanah terbiar yang sesuai untuk aktiviti tanaman agromakanan dengan menawarkan pelbagai bantuan dalam bentuk bimbingan dan insentif kepada golongan sasar. Secara keseluruhannya, lebih RM50,000,000.00 diperuntukkan pada tahun ini oleh kerajaan negeri dan persekutuan mengenai pelbagai menerusi pelbagai agensi dan jabatan untuk pembangunan sektor agromakanan negeri Johor. Antaranya, Jabatan Pertanian Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM28,282,700.00 keseluruhannya, berbanding RM21,825,723.00 pada tahun 2023. Peningkatan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam usaha untuk memperkasakan Sektor Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) dalam negeri Johor. Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia pula pada tahun ini diperuntukkan sebanyak RM10,000,000.00 bagi menggalakkan petani terlibat dalam pembangunan industri tanaman nanas, terutamanya nanas variety premium yang akan memberi pulangan yang lebih besar. Yang Berhormat Datuk Speaker pada petang ini saya sempat bekalkan Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan minuman yang dibekalkan oleh Pengusaha HousEk dan juga nanas oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Dan kedua-dua ini merupakan pengusaha IAT dan Lembaga Nanas yang mendapat insentif daripada peruntukan atau pun yang saya sebutkan tadi. Mereka adalah antara pengusaha yang menerima manfaat IAT dan pembangunan industri tanaman nanas yang saya maksudkan di atas tadi. Terima kasih kepada HousEk dan Lembaga Nanas Malaysia dan kita doakan selamat maju jaya kepada mereka.

Selain itu dalam pembangunan industri ruminan juga, pelbagai usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil ternakan ruminan dalam negara, termasuklah dengan menggalakkan aktiviti penternakan secara sistem integrasi ruminan dan kelapa sawit. Untuk pembangunan industri penternakan di Johor secara keseluruhannya, RM4,200,000.00 telah diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada tahun 2024. Untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan juga, Lembaga Pertubuhan Peladang pada tahun ini telah diperuntukkan sebanyak RM7,210,000.00 bagi memperkasa aktiviti agromakanan di negeri Johor. Aktiviti ekonomi agromakanan yang dijalankan oleh institusi korporat seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu disokong oleh semua pihak. Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan yang selalu membantu dan bekerjasama dengan PPK kawasan yang berkenaan. Dan kita harap PPK Sri Medan akan sama-sama membantu pula penternak-penternak lain di sekitar kawasan Sri Medan khasnya. Selain itu juga, Rumah Sembelihan PPK Batu Anam, Segamat yang bakal dinaik taraf pada tahun ini juga, berperanan untuk menerima permintaan daripada penternak-penternak sekitar untuk kemudahan proses penyembelihan, apabila siap kelak nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan Jualan Kasih Johor. Saya mewakili kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Wakil Rakyat yang turut turun ke padang bersama-sama pihak FAMA dalam menjayakan Program Jualan Kasih Johor. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas peruntukan sebanyak RM5,000,000.00 tahun ini berbanding RM1,000,000.00 tahun lalu. Saya berpandangan bahawa program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat setempat. FAMA selaku agensi pelaksana akan sentiasa melihat perkara-perkara yang perlu ditambah baik dari masa ke semasa.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Layang-Layang atas cadangan bagi melaksanakan tanaman padi huma di kawasan Simpang Renggam. Tanah di sawah Ulu Benut telah diwartakan pada 13 Januari 1955 dengan No. G.4.54 Bil Warta 8 dengan keluasan sebenar seluas 202.343 hektar. Ulasan berkaitan status tanah juga telah diperolehi daripada Pentadbir Tanah Daerah dan mendapati bahawa keadaan terkini tanah adalah terdapat tanaman kelapa

sawit, taman perumahan, masjid, rumah kediaman, lot kedai dan sebagainya. Sebahagian besar adalah tanah kerajaan manakala selebihnya adalah tanah berhak milik. Jabatan Pertanian akan melaksanakan tinjauan dan siasatan berkaitan kesesuaian dan kesuburan tanah dan sekiranya sesuai, demonstrasi akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menjadikan ia satu projek negeri.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Lama atas perkara yang dibangkitkan mengenai jeti nelayan. Untuk makluman semua, di Johor terdapat 73 jeti nelayan di bawah seliaan LKIM. Di kawasan Johor Lama terdapat dua jeti yang dibina oleh LKIM iaitu Jeti Nelayan Kampung Makam dan Jeti Nelayan Kampung Pasak. Kerja-kerja menaik taraf Jeti Nelayan Kampung Makam telah bermula sejak 18 Disember 2023 dan kini sedang dalam proses pelaksanaan 60%. Kerja-kerja menaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00 dijangka akan siap 3 Jun 2024 dan akan memberi manfaat kepada 50 orang nelayan. Untuk makluman Yang Berhormat Permas pula, pada tahun ini LKIM akan memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi menaik taraf jeti di Kampung Pasir Gudang Baru. Permohonan pembaikan atau naik taraf infrastruktur jeti di bawah seliaan LKIM hanya merangkumi skop jeti pendaratan dan tambahan bot sahaja, tambatan bot sahaja. Berkaitan Jeti Kampung Tembiuh dan Jeti Kampung Sinar Harapan di Johor Lama, ia bukan projek LKIM dan Jabatan Perikanan. Mengikut tinjauan kami, siasatan kami, ia dibina menggunakan peruntukan pihak lain. Walau bagaimanapun saya akan meneliti dan memperhalusi isu yang dibangkitkan mengenai perkara ini bersama-sama pihak yang berkaitan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga hendak maklumkan bahawa, atas nasihat Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa kami tidak bekerja secara sendirian. Untuk itu, atas perkara dibangkitkan oleh Johor Lama berkenaan dengan jeti yang gelap, maka saya telah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor dan beliau bersetuju untuk melihat cara penyelesaian isu gelap ini. Sayangnya Johor Lama tidak ada. Saya harap Johor Lama akan berhubung dengan pejabat EXCO yang berkenaan. Saya juga ambil maklum dan perhatian akan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sedili berkenaan permasalahan nelayan Sedili yang menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti tangkapan ikan akibat muara Sungai Sedili yang semakin cetek dan tohor. Jika ianya benar, maka peruntukan yang besar diperlukan termasuk mungkin peruntukan dari kerajaan persekutuan. Jadi kepada Yang Berhormat Sedili, kalau boleh bisik-bisikan kepada abang Ahli Parlimen Sedili, Kota Tinggi mungkin beliau boleh mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Walau bagaimanapun saya akan turun padang untuk melihat keadaan yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Sedili dan Johor Lama.

Untuk makluman Ahli Dewan, kerajaan negeri juga turut menitikberatkan pembangunan sektor perikanan dan menghargai peranan para nelayan dan pengusaha dalam sektor ini di atas sumbangannya kepada jaminan bekalan makanan negara. Sempena perjumpaan bersama kepimpinan Persatuan Nelayan Negeri Johor dan Persatuan Nelayan Kebangsaan tempoh hari, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menyampaikan bantuan insentif berjumlah RM5,085,000.00 keseluruhannya kepada pelbagai kumpulan sasar dalam sektor perikanan. Ini termasuk juga insentif oleh kerajaan negeri bagi membantu semua nelayan zon A dan nelayan darat di negeri Johor dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM2,500,000.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, secara keseluruhannya saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan perkara dan isu semasa persidangan Dewan ini. Saya mohon maaf dan mengakui bahawa ada banyak perkara yang tidak sempat untuk saya jawab dalam sesi penggulungan ini. Sekiranya terdapat persoalan

yang kurang jelas, dan perlukan jawapan yang lebih tepat daripada Ahli Yang Berhormat, saya harap dapat berhubung dengan pejabat saya untuk dijawab secara bertulis atau menerusi perbincangan dari masa ke semasa. Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan khasnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Timbalan Setiausaha Kerajaan, Pegawai Tanah dan Galian Johor, ketua-ketua jabatan, agensi negeri dan persekutuan, Pegawai-Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah, para pegawai dan termasuk semua pihak yang terlibat di lapangan yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama yang sangat baik terhadap portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar. Segala kerjasama erat ini dapat kita teruskan pada masa hadapan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Buloh Kasap. Alhamdulillah tamat sudah sesi penggulungan oleh Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa. Saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak khususnya pada Ahli-Ahli Yang Berhormat dan pegawai serta kakitangan Pejabat Dewan Negeri yang menyumbang kepada kelancaran sidang Dewan ini sehingga kini. Terima kasih kepada semua. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari Ahad, 19 Mei 2024 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5:00 petang

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Timbalan Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Sufian bin Suleiman

Koordinator

Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Pembantu Penerbitan

Puan Malina binti Mohd Nasir Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said (K) Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Norazilawati binti Masri Puan Norhafizah binti Osman

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar

Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 16 Mei 2024

Timbalan Speaker

VERBATIM