Johor · 19 May 2024

3rd session, 1st meeting · 87 turns · 10,845 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada hari ini merupakan hari terakhir sidang Dewan Negeri Johor. Yang Amat Berhormat Machap akan mengulung perbahasan. Banyak yang telah dibahas, dibangkit dan diusulkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah pembuat undang-undang, semoga the policy makers and the implementors (dengan izin) komited melaksana dan menjayakannya. Antara tugas Ahli Yang Berhormat ialah membentuk kerajaan melalui kemenangan pilihan raya. Franklin P Adams yang hidup antara 1838-1918 sudah lama mengingatkan, “Election are won by men and women chiefly because most people vote against somebody rather than for somebody, dengan izin. Bermaksud pengundi mengundi kerana menentang kita sebagai calon, mengundi kerana tidak suka kita, membenci kita, bukan kerana dia suka kepada calon yang lain, yang dia tidak kenal pun. Oleh itu apabila persepsi berjaya mewujudkan kebencian kepada kita, maka kita tidak menang.

Sebab itu ada kebenarannya Ahli-Ahli Yang Berhormat, “practical politic consists in ignoring facts”, bermaksud politik yang paling praktikal ialah apabila kebenaran atau fakta berjaya dipinggirkan. Maka akhihrnya fitnah, cakap bohong, formula mengarut lebih dipercayai. Justeru itu Ahli-Ahli Yang Berhormat marilah kita menjayakan politik bermaruah untuk menguatkan sendi-sendi bernegara dan berbangsa, “Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur” ideal, subur dan makmur. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Selamat pagi, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor 1.

Bagaimanakah kerajaan negeri merancang untuk memlihara dan mempromosikan budaya serta warisan dan melindungi tapak warisan di Johor.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor sentiasa berusaha melestarikan budaya warisan dalam masyarakat pada hari ini melalui pelbagai kaedah dan program bagi membuka kembali mata masyarakat agar lebih meminati dan mendalami kesenaian dan kebudayaan di negeri ini. Selain itu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara, Majlis Kebudayaan Negeri, Tourism Johor dan MOTEC juga antara agensi yang bersama-sama memainkan peranan dan rakan strategik dalam membantu Yayasan Warisan Johor memelihara dan mempromosi kesenian dan kebudayaan negeri di peringkat negeri mahu pun kebangsaan serta ke peringkat antarabangsa.

Yayasan Warisan Johor juga telah merancang dan melaksanakan berbagai program bagi tujuan pemeliharaan kebudayaan warisan dan tapak warisan di Johor seperti satu kajian penyelidikan dan pendokumentasian. Usaha-usaha menyelamat warisan sejarah seni dan budaya Johor kini sedang giat dijalankan oleh Yayasan Warisan Johor. Tiga bahagian utama telah diwujudkan mengikut kepakaran masing-masing bagi menjalankan tugas memelihara warisan Johor iaitu Bahagian Pemuziuman, Bahagian Pengurusan Acara dan Bahagian Persuratan dan Sejarah. Sebanyak RM50,000.00 diperuntukkan untuk membuat penyelidikan berkaitan jejak sejarah dan warisan yang meliputi tapak warisan sejarah dan ketokohan serta produk kain benang Johor.

Kedua, program pendidikan dan kelestarian. Program pendidikan dan kelestarian dari sudut kebudayaan warisan dan tapak warisan sentiasa menjadi butiran penting dalam pemerkasaan dan pemeliharaannya. Antara program-program utama yang dilaksanakan adalah seperti Lestari Seni Budaya Johor, Rentis Seni Johor dan Jenguk Kampung merupakan program pembelajaran dan perkongsian kelestarian kesenian di setiap daerah di negeri Johor. Bermula tahun 2010 sehingga kini seramai 10,000 peserta akan mengikuti latihan dan kelas setiap tahun dengan lantikan 50 orang tenaga pengajar dalam bidang seni tari dan muzik, seni visual dan khat, seni tenunan dan ukiran bagi kelestarian seni dan budaya di negeri Johor.

Sebanyak RM450,000.00 setahun diperuntukkan untuk melaksanakan program lestari seni budaya Johor, rintis seni Johor yang meliputi kelas dan latihan di peringkat akar umbi, lantikan tenaga pengajar daerah, insentif kepada pengiat atau tenaga pengajar, penilaian pemantauan dan pertandingan dalam bentuk penghasilan produk seperti seni visual, seni khat, ukiran dan tenunan. Manakala produk akhir bagi program lestari seni budaya pula adalah dalam bentuk persembahan dan majlis graduasi.

Kedua, bengkel dan seminar. Yang Berhormat Datuk Speaker, perkongsian hasil kajian dalam penyelidikan dan yang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor dilaksanakan dalam bentuk bengkel dan seminar bagi memberi pendedahan dan info terkini kepada masyarakat secara umum di negeri Johor. Antara bengkel dan seminar yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor adalah seperti bengkel permerkasaan objek warisan, bengkel konservasi, bicara permainan tradisional, bicara persenjataan dan seminar hubungan Johor di alam lain. Secara umumnya Yayasan Warisan Johor telah memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi memperkasaan dalam bentuk perkongsian pengetahuan kepada masyarakat.

Ketiga, konservasi dan arkeologi. Pelaksanaan konservasi dan arkeologi juga merupakan salah satu peranan penting yang dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor dalam pemeliharaan dan pemilihan monemun dan tapak warisan. Namun Yayasan Wariasan Johor tidak mempunyai sumber kewangan khas bagi tujuan pelaksanaan program tersebut. Bagi pelaksanaan aktiviti konservarsi bangunan dan monumen Yayasan Warisan Johor akan membuat permohonan peruntukan melalui Jabatan Warisan Negara berkaitan bangunan dan monemun yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan bagi tujuan tersebut. Manakala pemeliharaan bangunan warisan yang mempunyai potensi yang tinggi dari sudut pelancongan Yayasan Warisan Johor akan membuat permohonan melalui Kementerian Pelancongan Seni Budaya, terima kasih.

Speaker

Ya jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan Tangkak lebih berkenaan dengan bangunan-bangunan bersejarah iaitu adakah kerajaan negeri ataupun kementerian adakah menyediakan atau memberi insentif atau bantuan kepada mereka terutama dari sektor swasta yang mempunyai bangunan-bangunan yang bersejarah itu supaya diguna untuk memulihara dan memulihara. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tangkak, atas soalan tambahan. Akta 645 atau dipanggil sebagai Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Enakmen Yayasan Warisan Negeri 1988 merupakan dokumen yang memperuntukkan perundangan berkaitan dengan perlindungan warisan. Semestinya, selalunya bangunan-bangunan swasta ini perlu berada dalam lingkungan akta ini perlu diwartakan. Apabila telah diwartakan bangunan swasta ini kebanyakannya boleh memohon 2 jenis insentif iaitu dia melalui MOTAC. Mereka mempunyai insentif potongan cukai dan detail-detail mengenai macam mana berkenaan qualified, saya tak boleh nyatakan sebab dia panjang.

Yang kedua melalui Think City. Think City merupakan satu badan agensi yang ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada tahun 2009. Antara program di bawah Think City adalah program pembangunan ekonomi berasaskan budaya Think City bertujuan membina rangkaian aset budaya yang saling berkaitan di dalam dan antara bandar yang bertujuan untuk memelihara dan mengangkat warisan sebagai pemangkin pembangun sosioekonomi tempatan. Menggunapakai pendekatan holistik UNESCO, Think City cultural based economic development juga termasuk kerja dalam mengurus landskap bandar bersejarah yang melangkau pemeliharaan fizikal dan memberi tumpuan kepada keseluruhan persekitaran manusia termasuk semua kualiti ketara dan tidak ketara dengan menyatupadukan pemeliharan warisan bandar dan matlamat pembangunan sosial dan ekonomi. Sehingga kini lebih 100 jumlah bangunan warisan telah dan juga 100 projek warisan budaya tidak ketara telah dijalankan oleh Think City, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Umi Mahkota.

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmaullahi wabarakatuh. Semakin hari nampak muda, soalan Mahkota nombor 2.

Terdapat banyak perumahan yang telah siap tetapi tidak dibeli kerana harganya yang begitu mahal. Apakah tindakah kerajaan bagi mengatasi masalah ini?

Speaker

Siapa yang nampak muda ini, Yang Berhormat?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmaullahitaala wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menjawab soalan YB Bumi DUN Mahkota saya ingin berkongsi dalam Dewan ini tentang dasar perumahan Johor. Bila kita sebut tentang Dasar Perumahan Johor, mana-mana satu pembangunan yang melibatkan satu kawasan setempat 60% rumah adalah untuk pasaran bebas dan baki 40% adalah dikategorikan sebagai rumah mampu milik. Dan rumah mampu milik Johor ini pulak dia ada kategori A, B, C dan harga yang paling mahal ialah RM300,000.00 dalam bandar raya, RM250,000.00 di Majlis Perbandaran dan ada juga harga yang RM150,000.00, RM100,00000 dan RM50,000.00.

Jadi menjawab kepada soalan daripada ADUN Mahkota berkaitan perumahan yang telah siap tetapi tidak dibeli kerana harganya begitu mahal dan tindakan kerajaan untuk mengatasinya. Ini adalah rumah yang dikategorikan sebagai pasaran bebas iaitu 60% dan bukan rumah mampu milik. Merujuk kepada laporan pasaran hartanah yang dikeluarkan oleh pihak NAFI terdapat 2 kategori yang menjadi isu hangat yang sering diperkatakan khusus oleh pihak media melibatkan hartanah over hang atau hartanah tidak jual. Dua kategori tersebut adalah yang pertama, jenis kediaman yang digunakan sebagai tempat tinggal oleh individu atau keluarga yang merangkumi pembangunan perumahan atas tanah dan berstrata seperti banglo, rumah kluster, rumah semi D, rumah teres, rumah bandar atau town house dengan

izin, pangsapuri, flat dan juga kurnia. Yang kedua, kategori yang kedua ialah jenis komersial yang digunakan untuk tujuan perniagaan atau pun komersial terdiri daripada service apartment, pejabat kecil, pejabat rumah, pejabat kecil pejabat fleksibel, pejabat kecil pejabat maya, unit pejabat, lot kedai, lot runcit dan juga hotel. Selain dari itu merujuk kepada definisi yang digariskan oleh pihak NAFI yang menyifatkan hartanah over hang atau pun hartanah tidak dijual adalah sebagai siap dibina dan sedia untuk digunakan. Namun, tidak terjual melebihi tempoh sembilan bulan selepas tarikh pelancaran. Bagi dapatan data over hanged atau hartanah tidak terjual negeri Johor suku ketiga tahun 2023, melibatkan hartanah kediaman menunjukkan sebanyak 4,500 unit yang tidak terjual berbanding unit yang dilancarkan sebanyak 19,368 unit atau pun 23.23% tidak terjual berbanding 76.76% yang terjual. Ini menunjukkan hanya 23% sahaja rumah yang masih belum terjual di peringkat pemaju. Selain daripada itu, sebelum sebarang perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh pihak pemaju, berbagai kajian yang telah pun diambil kira khususnya kajian pasaran, kajian permintaan atau dengan izin, feasibility study turut dilaksanakan oleh pihak pemaju bagi memastikan projek yang akan dibangunkan tidak menandatangkan kerugian bagi pihak mereka. Dan saya percaya, tiada pemaju mahukan kerugian dalam suatu projek yang dibangunkan.

Saya juga ingin menyentuh sedikit tentang Laporan Hartanah Johor Tahun 2024. Digembar-gemburkan bahawa Johor ini mempunyai hartanah-hartanah yang tidak terjual. Saya ingin berkongsi di sini bahawa kalau kita tengok untuk pasaran bebas khasnya untuk service apartment bermula dari Forest City. Forest City jumlah unit 25,443, jumlah yang terjual 18,924 iaitu 74.4%. Di Danga Bay, di sepanjang Danga Bay termasuk Country Garden total unit yang dibina 8,642, yang terjual 6,908 unit atau pun 79.9%. Dan, R&F Tanjung Puteri Apartment Sales atau sebelah CIQ, sebelah CIQ unit yang terbina itu 7,196 dan unit yang terjual 5,778 atau pun yang terjual bersamaan dengan 80.29%. Terima kasih.

Speaker

Jemput Mahkota.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tadi EXCO dia kata 77% telah pun dijual. Adakah dijual kepada mereka yang benar-benar berhak atau pun mereka yang terlebih pendapatan? Soalan saya, berapa jumlah keseluruhan Rumah Mampu Milik di Kluang serta apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi membantu pemohon dapat pinjaman? Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Saya rasa soalan pinjaman tu dah jawab tapi mungkin saya kasi, kongsi sekali lagi. Bila cakap tentang perumahan, seperti saya mulakan dengan mukadimah bahawa Dewan, saya nak berkongsi bahawa rakyat perlu tahu bahawa Dasar Perumahan Johor ini 60 – 40 ini dasar. Maknanya, kalau pemaju datang kepada kita, maknanya, kita benarkan dia bina 60% nilai pasaran bebas. Terpulanglah kepada pemaju tu nak buat RM500,000.00 ke RM700,000.00, RM1,000,000.00 ke RM2,000,000.00, 60% dia boleh decide atau tentukan harga pasaran. Tetapi untuk baki 40%, 40% menjadi wajib atau compulsory pemaju mesti membina rumah di bawah RM300,000.00. RM300,000.00 ni, eh, RM300,000.00 ni di bandaraya harga dia kategori D, RM300,000.00 per unit. Kalau di perbandaran, Perbandaran Muar, Batu Pahat harganya kategori D ni RM250,000.00 dan ada juga kategori C, RM150,000.00 dan ada juga kategori B, RM100,000.00 dan kategori A yang paling rendah, yang masih dijual di Johor ini ialah RM50,000.00 seunit.

Jadi, untuk menjawab soalan Yang Berhormat Mahkota tentang di Kluang, pada tahun 2022 sehingga 2026 sebanyak 4,587 Rumah Mampu Milik Johor di daerah Kluang. Maksudnya, daripada sasaran Yang Berhormat tetapkan kepada pasukan saya daripada 2022 sehingga 2026, sepanjang lima tahun ini, Johor mesti membina 30,000 unit Rumah Mampu Milik yang harganya yang saya cakap tadi, RM300,000.00, RM250,000.00, RM150,000.00,

RM100,000.00 dan RM50,000.00 per unit. Di Kluang sahaja, 4,587 daripada 30,000 unit. Sebagai contoh, 477 unit jenis A, harga RM50,000.00. Kategori B, 752 unit harga RM100,000.00, 2,055 unit jenis C, harga RM150,000.00 dan jenis D, 1,733 unit harga RM250,000.00.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, Mahkota, sebanyak tujuh projek melibatkan 1,560 unit rumah telah pun ditawarkan Sijil Layak Memiliki Rumah melalui JHome For AC bermula 2022 sehingga 2024. Lebih menggembirakan lagi akan ada dua buah PPR dibina di daerah Kluang. Satu, PPR Sembrong yang sedang dalam pembinaan dan satu lagi PPR Kluang yang baru diumumkan dalam Belanjawan 2024 sedang dalam peringkat proses, kajian nilai kejuruteraan, perincian skop dan kos bangunan bagi menyediakan dokumen tender. Dan pada bulan Jun, Insya-Allah pihak KPT akan hadir ke daerah Kluang bagi pelaksanaan Bengkel Penilaian dengan semua jabatan teknikal dan agensi. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Sedili nombor 3.

Warga emas yang tinggal berdua, ada juga yang berseorangan, tiada pendapatan, keadaan rumah usang, uzur dan sakit. Mohon agar pihak JKM tidak mengambil masa lama dalam menyelidik kelulusan permohonan dan boleh kiranya ianya diluluskan secara automatik.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sedili. Soalan yang diajukan kepada saya adalah warga emas yang tinggal berdua, ada juga yang berseorangan, tiada pendapatan, keadaan rumah usang, uzur dan sakit. Mohon agar pihak JKM tidak mengambil masa lama dalam menyelidik kelulusan permohonan dan boleh kiranya ianya diluluskan secara automatik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, sentiasa mengambil berat terhadap semua permohonan bantuan yang dikemukakan agar semua prosedur dan proses dilaksanakan mengikut garis panduan dan tempoh masa yang ditetapkan. Merujuk kepada prosedur permohonan bantuan kewangan JKM MS ISO 9001 2015, telah menetapkan sesuatu permohonan bantuan baharu hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan lengkap diterima sehingga keputusan permohonan dikeluarkan atau yang mana lebih awal.

Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat pertimbangan untuk kelulusan atau membuat penolakan berdasarkan hasil siasatan dan justifikasi oleh pegawai kes yang bertanggungjawab. Jabatan telah menggunakan sistem eBantuan JKM sepenuhnya. Bagi proses permohonan bantuan kebajikan agar masalah kelewatan permohonan dan penyerahan dokumen sokongan oleh klien dapat diselesaikan segera dan permohonan dapat diproses dengan lebih cepat. Bantuan kepada warga emas dikategorikan di bawah Skim Bantuan Tidak Produktif dan jabatan telah menetapkan bahawa prosedur kaji semula telah dikecualikan bermula 1 Januari 2024 dan lanjutan bantuan adalah secara automatik. Jabatan hanya menjalankan proses pemantauan yang dilaksanakan setiap tiga bulan sekali bagi memastikan keberadaan kes.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengadakan Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas dan OKU terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian atau bersama ahli keluarga di rumah yang kurang penjagaan dan kurang kemampuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, program ini bercorak pendampingan sosial, social law reach dengan izin dan berkonsepkan kebajikan. Sebagai tanggungjawab bersama, sukarelawan yang dilatih dan melaksanakan tugas mereka berdasarkan konsep dan prinsip kesukarelaan. Sehingga kini, seramai 7,000 warga emas telah menerima manfaat daripada program ini melibatkan 2,225 sukarelawan, khidmat bantu di rumah di seluruh Malaysia. Sementara itu, di negeri Johor seramai 401 client warga emas telah menerima manfaat daripada program ini dengan melibatkan seramai 135 sukarelawan.

Bagi warga emas yang tinggal bersendirian, sebatang kara dan tidak berkemampuan untuk urus diri, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menguruskan kemasukan kes ini ke Institusi Penjagaan Warga Emas di bawah kendalian jabatan atau pertubuhan bukan kerajaan. Kemasukan kes ke institusi sewajarnya menjadi langkah terakhir atau dengan izin, last result yang tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Sedili ada soalan tambahan?

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya, boleh Yang Berhormat kongsikan sehingga kini berapa ramai warga emas yang memberi, menerima manfaat bantuan bulanan warga emas Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor dan berapa jumlah yang diterima setiap bulan?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor sentiasa berusaha menyantuni setiap rakyat yang memerlukan dengan melihat kepada taraf ekonomi, individu dan keluarga serta keperluan mendesak mereka. Kajian turut dilaksanakan bagi memastikan syarat kelayakan serta pemberian kadar bantuan bulanan yang diberikan memenuhi keperluan masyakarat.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa bantuan warga emas adalah sebuah bantuan kewangan bagi warga emas miskin tegar dan memenuhi kriteria kelayakan bertujuan untuk membantu meneruskan kelangsungan makan dan kesejahteraan hidup rakyat. Seiring dengan kenaikan kos sara hidup rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan satu kajian semula berkaitan jumlah kadar bantuan bulanan mengikut Skim yang diselaraskan dengan situasi semasa bermula 1 Januari 2021, kadar bantuan kewangan, bantuan JKM telah dinaikkan memandangkan kos sara hidup kini telah meningkat. Kenaikan kadar bantuan ini telah dinaikkan bagi bantuan warga emas dari RM350.00 sebulan kepada RM500.00 sebulan.

Untuk makluman sehingga April 2024, seramai 16,115 orang penerima bantuan bulanan warga emas negeri Johor yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM6,977,500.00 sebulan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja ya.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 4.

YAB Menteri Besar Johor pada 29 September 2023, ada menawarkan bantuan tanah untuk tanaman padi kepada rakyat Johor. Sejauh mana tawaran tersebut mendapat penyertaan dan apakah usaha kerajaan negeri dalam membantu pesawah meningkatkan hasil tanaman padi negeri ini?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5. Terima kasih.

Berapakah luas kawasan yang telah disediakan untuk dijadikan kawasan sawah padi baru di Johor dan bagaimanakah kaedah pengurusan sawah padi yang akan diimplementasikan?

Speaker

Terima kasih. Jawab tapi selepas ini tiada soalan tambahan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kepada Yang Berhormat ADUN Pasir Raja dan ADUN Gambir di atas soalan berkaitan dengan tanaman padi di Johor.

Untuk makluman seisi Dewan, keperluan beras setahun untuk rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,517,461 tan. Namun, tahap sara diri ataupun SSR pada negara pada masa kini adalah 62.6%. Justeru, selebihnya negara mengimport beras bagi memenui keperluan rakyat. Dengan anggaran penduduk negeri Johor pada tahun 2022, seramai 4,000,000.00 orang dan dengan keperluan per kapita beras 78 kilogram per tahun setiap orang. Maka, sebanyak 314,217 tan beras diperlukan oleh rakyat Johor secara keseluruhan. Namun begitu, penghasilan beras di Johor hanya dapat menampung 2.4% keperluan rakyat Johor sahaja.

Untuk makluman, sawah padi di negeri Johor ni berstatus padi luar jelapang dan lebih kecil berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan termasuk Terengganu. Johor memiliki 10 sawah padi seluas 2,254 hektar merangkumi daerah Tangkak seluas 842.97 hektar, Muar 364.22 hektar, Mersing 549.38 hektar, Batu Pahat 141.7 hektar dan Kluang 356.12 hektar yang membabitkan 875 pesawah.

Pengeluaran terkini sawah padi di Johor adalah pada musim utama iaitu tahun 2022 dan 2023. Atau penuaian sekitar Mac lalu iaitu sebanyak 5,580 metrik tan atau purata sebanyak 3.86 metrik tan per hektar. Ianya menunjukkan penurunan berbanding musim utama yang lepas sebanyak 10.3% akibat berlakunya banjir di beberapa kawasan padi seperti di Sawah Kesang Tasik, Sawah Teluk Rimba, Sawah Reng dan Endau. Walaupun Johor berstatus padi luar jelapang, tumpuan kerajaan untuk memperkasa industri sawah padi ini tetap sentiasa menjadi keutamaan. Saya dan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI, FAMA dan J-Biotech telah membuat lawatan kerja ke kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut, Selangor pada 25 Oktober tahun lalu untuk meneliti model pelaksanaan tanaman padi di negeri Selangor khasnya dalam kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Lanjutan itu, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mewujudkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu atau IADA yang berfokuskan pembangunan sawah padi secara holistik. Terdapat 12 IADA di seluruh negara sebagai contoh, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, IADA Rompin, IADA Kerian dan IADA Pulau Pinang.

Untuk makluman Dewan, keperluan atau syarat untuk mewujudkan IADA adalah sekurang-kurangnya 3,000 hektar. Untuk itu, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada kementerian untuk menggabungkan sawah padi Johor dengan negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Status terkini, pihak Plan Malaysia telah mengadakan sesi libat urus untuk pelaksanaan inisiatif baharu bagi mewujud Kawasan Jelapang Padi Wilayah Selatan atau Southen Rice Bowl.

Kita berharap usaha ini dapat dijayakan memandangkan manfaat kepada penggabungan sawah padi serta bersepadu ini akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan industri sawah padi terutamanya di selatan negara.

Cadangan mewujudkan IADA Wilayah Selatan dijangka memberi manfaat dari segi mengoptimumkan penggunaan sumber bagi meningkatkan pengeluaran industri padi dan beras serta merupakan proses transformasi sektor Agro-Makanan. Melalui contoh, IADA Barat Laut Selangor, di Sekinchan, Selangor terdapat banyak kemudahan dibantu oleh kerajaan persekutuan yang mendorong kerajaan Johor untuk mencadangkan kewujudan IADA bagi wilayah selatan.

Dalam usaha membantu pesawah meningkatkan pengeluaran hasil tanaman padi, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang melalui Program Pembangunan Sawah Padi telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti menaik taraf infrastruktur, seperti pembersihan perparitan sawah melalui JPS, perataan tanah sawah, penggunaan benih padi bermutu tinggi serta bahan import tambahan.

Dalam Program Pembangunan Sawah Padi di negeri Johor pada tahun 2023, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM600,000.00 melibatkan sawah padi seluas 829 hektar melibatkan 386 petani. Pada tahun 2024 ini pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM900,000.00 dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM3,000,000.00 pula bagi membangunkan sawah-sawah padi di negeri Johor.

Pada tahun 2024 dalam masa yang terdekat ini, kerajaan negeri akan membangunkan 20.2 hektar kawasan baru bagi tanaman padi di Kahang, daerah Kluang. Ianya akan melibatkan kerja-kerja seperti ukur tanah dan pemetaan kawasan, kerja-kerja pembersihan dan pembinaan infra, kerja-kerja pembinaan infrastruktur jalan ladang, kerja-kerja penyediaan tanah iaitu bajak dan sebagainya serta yang kelima, kerja-kerja pengapuran tanah yang melibatkan 20.2 hektar. Kawasan baru bagi tanaman padi di Sawah Kahang bakal mengadaptasi kaedah penanaman padi ala Sekinchan melalui Program Smart Sawah Berskala Besar atau SBP.

Smart Sawah Berskala Besar ini adalah inisiatif mengenai perkongsian pintar awam dan swasta antara kerajaan, pemain industri dan para pesawah. Ia adalah konsep pelaksanaan pengurusan tanaman padi secara berjadual serentak dan tertib diselaraskan oleh pihak yang berkepentingan untuk mengatur jadual pelaksanaan aktiviti.

Secara keseluruhan Yang Berhormat Datuk Speaker, sungguhpun negeri Johor sebagai kawasan pengeluaran padi di luar jelapang, ia tetap menjadi fokus kerajaan negeri di dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluarannya. Negeri Johor juga terlibat dalam langkah kerajaan pusat untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras di seluruh negara. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum kita meneruskan perbahasan Dewan yang Mulia ini ingin mengalu-alukan kehadiran seramai 93 orang yang dibawa khas oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor iaitu pertama, pelajar-pelajar Palestin daripada Universiti Teknologi Malaysia. (Dewan bertepuk). Welcome. Pemerhati daripada kawasan Simpang Renggam dan pemerhati daripada Dewan Muda Johor, Onn Leadership Accelerator dan Persatuan Anak Muda Johor. 3 orang pemerhati daripada kawasan DUN Senggarang. 5 orang pemerhati daripada kawasan DUN Senai dan 2 orang pemerhati daripada pejabat Speaker Dewan Negeri Johor. Ada juga kawan-kawan daripada KL, Yang Amat Berhormat. Mereka datang khusus nak mendengar penggulungan Yang Amat Berhormat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan diteruskan sehingga selesai semua Rundingan. Sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di sambung sekarang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dijemput untuk menggulung selama tanpa tempoh masa. Sila.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. Doa. “Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk, dan lindungilahku dari kejahatan nafsu”. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya memulakan penggulungan seperti yang kita semua sedia maklum, awal pagi Jumaat yang lalu kita telah digemparkan dengan satu insiden yang amat mendukacitakan. Satu serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram telah dibuat yang telah mengorbankan 2 anggota polis dan mencederakan seorang lagi anggota.

Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya akan sebarang bentuk keganasan ekstrem apatah lagi apabila ia mengorbankan nyawa-nyawa yang tidak berdosa, lebih-lebih lagi wira-wira negara seperti Anggota Polis Diraja Malaysia. Kerajaan negeri berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia dalam usaha memerangi segala bentuk ekstrem dan akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya perkara ini tidak berulang lagi di negeri Johor. (Dewan bertepuk).

Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi bin Azhar, Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq bin Ahmad Said dan Koperal Mohd Hasif Roslan atas tragedi yang begitu dikesali ini. Semoga kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Kita juga doakan agar Koperal Mohd Hasif Roslan diberikan kesembuhan segera dan kembali pulih seperti sediakala. Marilah kita semua berdiri untuk menghadiahkan ummul kitab dan bagi yang bukan beragama Islam bolehlah bertafakur mengikut kepercayaan masing-masing. Al-Fatihah. Amin, Amin ya rabbal ‘alamin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua, dapat kita bersama-sama hadir di Dewan yang mulia ini bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor. Patik ingin merafak sembah dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-17.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga bagi Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 9 Mei yang lalu. Titah Ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku telah menyentuh pelbagai perkara termasuklah miskin tegar,

pendidikan, belia, kemudahan kesihatan, pelaburan, tambak Johor, infrastruktur, perumahan, jalan raya, tebatan banjir, bekalan air, ekonomi dan agama.

Perkara-perkara yang dititahkan semuanya tidak lain dan tidak bukan berfokus kepada kepentingan dan kebajikan Bangsa Johor. Syukur Alhamdulillah, seluruh Ahli Dewan menyambut baik titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam perbahasan.

Yang Berhormat Bukit Kepong, Permas dan Puteri Wangsa menyentuh tentang miskin tegar. Yang Berhormat Layang-Layang, Kota Iskandar dan Senggarang membahaskan isu pendidikan. Agenda Belia Orang Muda Johor juga hebat dibahaskan oleh Yang Berhormat Panti, Johor Lama dan Kemelah. Yang Berhormat Kukup, Senggarang, Gambir dan Endau pula berbahas tentang kemudahan kesihatan. Isu banjir sekali lagi dibahaskan oleh Yang Berhormat Seri Medan, Parit Yaani dan Yong Peng. Perbahasan tentang jalan raya turut disentuh oleh Yang Berhormat Kukup, Kahang, Bukit Batu, Senggarang, Bukit Naning, Bentayan, Sungai Balang, Penggaram, Tiram, Pekan Nenas, Senai, Parit Raja dan Mengkibol. Isu bekalan air pula disebut dan dibahaskan oleh Yang Berhormat Bentayan, Senggarang dan Skudai. Dalam isu ekonomi pula hampir ke semua Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk Yang Berhormat Benut, Puteri Wangsa, Semerah dan Mahkota telah memberikan pandangan dan hujah masing-masing. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan kali ini saya dapati masih terdapat banyak isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat tentang permasalahan di kawasan-kawasan DUN masing-masing.

Sebahagian besar daripada isu yang dibangkitkan merupakan isu-isu legasi yang telah berakar umbi bertahun lamanya dan masih belum dapat lagi diselesaikan sehingga hari ini. Sebagai contoh isu infrastruktur seperti jalan, parit tersumbat, anjing liar berkeliaran, isu gajah masuk kampung, masuk FELDA, banjir kilat, lampu jalan tidak berfungsi dan pelbagai lagi. Saya cukup yakin bahawa perkara-perkara ini dibincangkan di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah masing-masing, tetapi disebabkan setiap daerah mempunyai banyak DUN contohnya daerah JB Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali Mesyuarat Tindakan Daerah ada 8 DUN. Batu Pahat tak salah saya ada 9 DUN. Maka perkara-perkara yang dibangkitkan tidak dibincangkan secara mikro. Sudah tiba masanya, kita menguruskan permasalahan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat mengikut DUN masing-masing. (Dewan bertepuk).

Justeru itu, bagi membantu menyelesaikan isu-isu setempat yang tidak berkesudahan ini, saya mencadangkan agar diadakan Mesyuarat Tindakan DUN yang dipengerusikan oleh Pegawai-Pegawai Daerah dengan penglibatan ADUN kawasan dan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan. (Dewan bertepuk). Mesyuarat ini perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Saya yakin cadangan ini tidak sukar untuk dilaksanakan di setiap DUN Yang Berhormat Speaker, kerana saya sendiri telah melaksanakannya 4 tahun berturut-turut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada juga perkara-perkara yang dibangkitkan yang memerlukan intervensi dan bantuan daripada kerajaan persekutuan. Sebagai contoh isu-isu FELDA yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pemanis dan Sedili, mereka bukan sahaja membahaskan isu-isu ini di dalam Dewan yang mulia ini, tetapi juga mengambil inisiatif untuk membawa perkara tersebut ke pengurusan tertinggi FELDA. Tak cukup itu, membawa perkara tersebut kepada pihak kementerian. Syabas dan tahniah saya ucapkan. Bagi saya inilah resepi terbaik untuk menyelesaikan apa saja masalah rakyat, yang melibatkan agensi-agensi di peringkat persekutuan.

Ada juga isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak berkesudahan, contohnya isu gajah ceroboh di kawasan Kahang. Pada Disember tahun lalu, saya telah menasihatkan EXCO dan ADUN berkenaan agar berjumpa dengan kementerian dan agensi yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan, kerana masalah ini memerlukan intervensi

mereka untuk diselesaikan. Tetapi, sehingga hari ini masih lagi belum ada perbincangan. Yang Berhormat Datuk Speaker, isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat pastinya tidak dapat diselesaikan jika diperbahaskan di dalam Dewan ini kerana yang bulat tak kan datang bergolek, yang pipih tak kan datang melayang. Ia memerlukan koordinasi dan gerak kerja yang efektif agar masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana setelah lebih 2 tahun kualiti perbahasan di Dewan yang mulia ini semakin baik dan tuntas dalam menyampaikan sesuatu idea, maklum balas dan mengupas isu. Menekuni perbahasan setiap Ahli Yang Berhormat pada sidang kali ini, walaupun kita mungkin berbeza parti, berbeza ideologi dan berbeza latar belakang, namun saya dapat rasakan keharmonian, kebersamaan dan kesepaduan yang dijalinkan di dalam Dewan yang mulia ini, demi menjayakan agenda memperjuangkan Bangsa Johor yang kita semua sayangi. Suara rakyat suara keramat, suara dibawa di Dewan yang mulia, Johor harmoni saling muafakat, negeri maju rakyat bahagia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya yakin bahawa semua bersetuju bahawa sidang Dewan yang mulia ini berjaya mengekalkan identiti dan nama baik negeri Johor. Ia telah diuruskan dengan cemerlang oleh Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. (Dewan bertepuk). Setuju atau pun tidak? Sama-samalah kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker atas kewibawaan mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai Daerah, Datuk-Datuk Bandar, YDP-YDP, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, Ahli-Ahli Majlis, AJK-AJK masjid, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, JPKK, Orang Muda Johor dan seluruh Bangsa Johor yang sentiasa menyambut baik segala inisiatif kerajaan negeri seperti Program Semarak Subuh, Keluarga Angkat, Mahasiswa Angkat, Program Baik pulih Rumah dan Bina Baharu Rumah, Jualan Kasih, Johor Bersih dan banyak lagi. Saya yakin hasil penglibatan dan komitmen semua pihak, pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dapat dirasai sehingga ke seluruh pelosok negeri, kerana ia diadakan bukan sahaja di peringkat negeri malah dilaksanakan serentak di setiap DUN. Syabas juga dan tahniah saya ucapkan kepada semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada kesempatan ini saya juga bagi pihak kerajaan negeri Johor ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Encik Lawrence Wong yang baru saja dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura Yang Keempat. Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Singapura Yang Berhormat Datuk Lee Hsien Loong di atas segala jasa dan kerjasama erat yang telah dijalinkan bersama Johor selama ini. Semoga hubungan erat 2 hala akan diteruskan di bawah kepimpinan Singapura yang baharu demi kesejahteraan semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker seperti yang saya sebut tadi, pelbagai program telah dilaksanakan tahun ini. Antara program yang mendapat sambutan yang baik adalah program Semarak Subuh. Seperti Yang Berhormat Benut sebut tempoh hari, program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dari semua lapisan masyarakat termasuklah anak-anak muda. Suka saya laporkan sehingga hari ini sudah masuk minggu ke 20. Program ini telah menarik lebih 200,000 jemaah yang melibatkan 988 masjid dan surau di seluruh negeri. Syukur Alhamdulillah komitmen yang diberikan bagi menjayakan program ini begitu terserlah apabila AJK masjid dan surau sanggup mengeluarkan duit tabung sendiri untuk sama-sama menjayakan program ini. Ada yang menjamu nasi beriani, Yang Berhormat Datuk Speaker kata ada kambing golek,

Speaker

Kambing golek dan ada cabutan bertuah.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Cabutan bertuah. Ada yang bagi sumbangan duit belanja sekolah, tempat Dato’ Jafni saya tengok hari itu dan pelbagai lagi. Ada juga individu yang tampil menginfak demi menyediakan jamuan kepada jemaah yang hadir. Sokongan dan sumbangan dizahirkan oleh pelbagai pihak. Sehubungan itu, bagi menyemarakan lagi program ini kerajaan negeri bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM840,000.00 lagi menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1,400,000.00. Apa pun saya ingatkan diri saya dan rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat terutamanya kita yang beragama Islam, tanamlah niat agar segala usaha yang kita lakukan ini adalah kerana Allah S.W.T. semata-mata.

Speaker

Yang Amat Berhormat, kita juga merakam setinggi tahniah dan terima kasih kepada rakan-rakan pengimbang yang turut menjayakan program ini.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Semua ADUN sebenarnya Yang Berhormat.

Speaker

Sebab Semarak Subuh ini Yang Amat Berhormat, dia bukan setakat program dia adalah dakwah, asas dakwah, motivasi sebenar.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Cuma kadang Yang Berhormat saya pelik, Yang Berhormat Ah Soon dengan Yang Berhormat Lee, ingat kadang-kadang dia sampai masjid lebih awal daripada jemaah, mana saya tadi...

Speaker

Semarak subuh, penambahan peruntukan...

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

(Dewan ketawa). Yang Berhormat Datuk Speaker, kita kena ingat bahawa kita buat semua ini untuk keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah Muhammad Ayat Ke 7 yang berbunyi. (Bacaan Ayat Al-Quran). Yang bermaksud wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kita membicarakan pelbagai hala tuju dan strategi untuk mengangkat negeri dan negara ini, untuk menginjak lebih tinggi dan melangkah lebih jauh ke hadapan. Ia tidak akan sama sekali menjadikan kita alpa dan leka terhadap apa yang sering, terhadap apa sedang berlaku di Palestine khususnya di Gaza. Rakyat Palestine mempunyai hak ke atas tanah air mereka. Sejak berdekad lamanya generasi demi generasi mereka telah mengharungi jerih perih dan getirnya perampasan pendudukan, penindasan, apartheid dan pencabulan hak asasi manusia. Hak asasi manusia yang semua itu seharusnya menyentap naluri kemanusiaan kepada semua yang masih diberikan kewarasan akal fikiran. Sudah 225 malam, hari, mereka dihujani bedilan bom dan peluru yang bertali arus. Gaza kini menjadi tanah perkuburan bagi kanak-kanak yang tidak berdosa. Setiap sepuluh minit, nyawa seorang kanak-kanak diragut Zionis Israel. Israel mendakwa bahawa mereka bertindak untuk mempertahankan diri, namun hakikatnya, apa yang berlaku adalah kezaliman berterusan ke atas orang awam, pembunuhan ramai-ramai kanak-kanak, hospital-hospital dan sekolah-sekolah dibom dan dimusnahkan. Bantuan-bantuan kemanusiaan pula disekat, itu sama sekali bukanlah tindakan mempertahankan diri. Dunia melihat tindakan Israel sangat kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan dan jenayah perang yang perlu dihakimi. Israel tidak boleh terus dibiarkan, beraja di mata, bersultan di hati, melakukan kekejaman sewenang-wenangnya. Kita menggesa keamanan, keadilan dan kehidupan yang selamat diberikan kepada rakyat Palestine. Israel mesti menghentikan tindakan rakus ini. Pada pagi yang mulia ini, Yang Berhormat Speaker, saya mengajak Ahli-Ahli Dewan untuk bangun dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saudara-saudara kita dari bumi suci Palestin yang sedang bertarung nyawa, ayuh bangkitlah sahabat-sahabatku, mereka adalah simbol kesabaran, mereka adalah simbol kecekalan, mereka juga adalah simbol menentang kezaliman. (Dewan bertepuk).

To our brothers and sisters and to all the Palestinian People, Johoreans and Malaysians stand in soladarity with The Palestinian People. The world must work towards assist fire in Gaza and put an end to the death and suffering of countless innocent men, women and children. May Allah SWT grant all of you. Strenght for severence and victory over the all phrases. Sama-samalah kita memberikan tepukan yang paling gemuruh sebagai tanda yang tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestine. (Dewan bertepuk). Terima kasih semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh cadangan baik oleh Yang Berhormat Benut untuk memperkasakan sidang DUN ini dengan membenarkan celahan semasa perbahasan. Namun begitu, saya perlu mengingatkan diri saya dan Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah bertitah bahawa Baginda tidak mahu Dewan ini dicemarkan dengan perangai buruk kerana Dewan ini adalah Dewan yang mulia.

Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor juga bertitah agar Ahli-Ahli Yang Berhormat memelihara kredibiliti institusi Dewan Negeri Johor ini. Satu kenyataan yang perlu kita terima walaupun menyedihkan, tidak semua Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh berbahas dengan penuh tertib seperti Yang Berhormat Benut dan juga Yang Berhormat Bukit Kepong. Tidak semua boleh berbahas dengan penuh adab seperti Yang Berhormat Seri Medan dan Stulang. Tidak semua boleh berbahas dengan penuh santun seperti Yang Berhormat Parit Raja, Skudai dan Puteri Wangsa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jika kita lihat di Dewan Rakyat, kita lihat bagaimana sukarnya Speaker hendak mengawal perbahasan, cacian, makian, jeritan, provokasi, tohmahan juga panggilan gelaran yang negatif dibuat sehingga menimbulkan kekecohan yang sukar dikawal. Sehinggakan, nak suruh siapa duduk dulu sahaja, perbahasan itu boleh ambil masa lima minit. Nak suruh duduk je banyak masa yang dibazirkan hanya untuk menenangkan kekecohan, menentukan siapa yang patut berucap dan siapa pula yang sepatutnya duduk. Pantang bersiasah tidak senonoh, cabar mencabar mencari musuh, ke dalam bertikai, keluar bergaduh, rakyat sengsara, negeri pun runtuh. Namun, Yang Berhormat Datuk Speaker, jika ada cadangan, kaedah perlaksanaan yang baik dalam memastikan Dewan ini kekal harmoni, tertib dengan celahan semasa persidangan, saya amat mengalu-alukannya supaya ia dapat dipertimbangkan, Insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, cuma saya harap PA System di Dewan yang mulia ini ditukar dengan kadar yang segera.

Speaker

Yang ini saya sokong Yang Amat Berhormat. Sebab saya sering menerima komplen daripada para pemerhati di atas tu, mereka tidak dapat mengikuti perbahasan dengan jelas kerana mereka tidak dapat mendengar butiran perbahasan. Oleh itu, saya rasa amat perlu disegerakan sound system di Dewan ni ditambah baik.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Baik, Yang Berhormat Datuk Speaker, arahan diterima. Yang Berhormat Datuk Speaker, seluruh Bangsa Johor sangat bersyukur dan berbangga dengan pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini. Dengan pedoman dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda, Malaysia pasti akan terus dipacu untuk melangkah lebih maju ke hadapan. Saya juga penuh yakin dan percaya bahawa Johor juga akan merasai limpahan manfaat daripada pemerintahan Tuanku Agong. Inilah masanya kedudukan Johor sebagai peneraju dan penyumbang utama ekonomi negara diperkukuh dan diberikan keistimewaan. This is the time for Johor to shine because the star have a line in Johor favour, dengan izin. Tempoh lima tahun mendatang ini sangat penting untuk kita manfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita telah sama-sama lihat pelbagai pengumuman dan perlaksanaan projek-projek infrastruktur utama di negeri Johor. Antaranya Pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Senai Desaru Expressway, HSA 2, RTS, Projek-Projek Rancangan Tebatan Banjir, SEZ, SFZ dan banyak lagi. Semua ini, sebenarnya adalah permohonan-permohonan yang telah kita buat sejak bertahun-tahun lamanya, sejak zaman Bukit Kepong, sejak zaman Yang Berhormat Benut, tapi syukur alhamdulillah semua perkara-perkara ini hari ini menjadi realiti. Pada kesempatan ini, kerajaan negeri juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan di atas sokongan jitu dan kelulusan yang diberikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kita gembira dan bersyukur menerima berita-berita yang baik ini, izinkan saya berkongsi ketika Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berangkat balik semasa Pembukaan Persidangan Dewan, Tunku telah bertitah dan meninggalkan saya dan Tan Sri SS dengan satu persoalan, soalannya, kita hendak menjadi sebuah negeri yang maju, banyak agenda kita, tetapi adakah kita sudah bersedia. Pada ketika itu, saya tersentak dan hanya mengangguk cuba menyelami apa yang tersirat di sebalik persoalan oleh Pemangku Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari Rabu yang lepas, Yang Berhormat Datuk Speaker telah berkongsi akan nasihat seorang tokoh negarawan yang berasal dari negeri Johor, Yang Amat Berbahagia Tun Musa Hitam.

Sebagai seorang pemimpin yang muda, saya juga baru-baru ini telah berjumpa dengan Tun Musa untuk mendapatkan pandangan dan nasihat beliau. Saya bertanya, apa lagi yang perlu saya buat untuk membangunkan negeri Johor ini? Soalan saya itu dijawab dengan soalan juga. Dia tanya, young man, are you willing to speak the truth? Beliau bertanya kepada saya. Adakah saya sanggup menyatakan yang benar? Tun Musa berpandangan bahawa terdapat banyak dasar-dasar kerajaan terdahulu yang telah membuahkan hasil yang baik untuk rakyat. Sebagai contoh, FELDA, PTPTN, PNB, Tabung Haji, MARA, UiTM dan banyak lagi sehingga berjaya melahirkan ramai golongan profesional di negara ini. Namun begitu, ada juga kelemahan-kelemahan yang perlu kita depani dan tangani. Beliau berkata, kita harus berani untuk mengakui bahawa terdapat dasar-dasar dan perkara-perkara yang masih belum membuahkan hasil yang sepatutnya. Apakah tahap kualiti pendidikan kita pada hari ini? Bagaimanakah penglibatan kesihatan kita? Apakah keadaan jalan-jalan kita pada hari ini? Berapa ramaikah lagi rakyat yang masih hidup dalam keadaan daif dan miskin? Sebagai pemimpin, ini adalah soalan-soalan yang perlu kita jawab dengan hati yang luhur dan ikhlas kerana ini adalah amanah dan tanggungjawab kita bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi pendidikan, Pemangku Sultan Johor telah bertitah di Dewan yang Mulia ini, jika kita masih tidak dapat menerima hakikat seperti yang dilaporkan Laporan Bank Dunia baru-baru ini dan kedudukan terkini pelajar kita di dalam peperiksaan PISA, tidak perlulah kita keluh dan kesalkan. Sekiranya generasi masa depan kurang berdaya saing berbanding rakan sejagat mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita perlu terima dan akui bahawa prestasi pendidikan negara semakin lama semakin merosot. Jika dirujuk kepada Laporan PISA itu Malaysia mencatatkan penurunan score dalam beberapa subjek teras seperti Sains, Matematik dan bacaan. Merujuk kepada Laporan Bank Dunia pula, hanya 58% pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir darjah 5. Dan laporan ini menunjukkan kita jauh lebih teruk daripada rakan-rakan serantau asia. Laporan itu juga menunjukkan senario yang membimbangkan apabila pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah, namun tahap penguasaan pembelajaran mereka hanya 8.9 tahun. Ini bermakna, kita membazirkan masa lebih 3 tahun untuk anak-anak kita.

Baru-baru ini pula, tular di media sosial pelajar sekolah terpaksa duduk bersila di lantai kerana tiada kerusi dan meja walaupun peruntukan sudah disalurkan. Sungguh pun perkara ini berlaku di luar Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 19 sekolah di Johor yang dikategorikan sebagai sekolah daif, 19. Ada sekolah yang bumbungnya bocor, kerusinya rosak dan struktur bangunannya tidak lagi selamat untuk digunakan. Daripada 19 sekolah yang daif ini, 14 telah diluluskan peruntukan untuk dibaiki semenjak tahun 2021, namun begitu 3 tahun sudah berlalu tidak ada satu pun projek sekolah daif ini telah berjaya disiapkan. Di manakah silapnya? Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku sehingga anak-anak kita yang menjadi mangsa kerenah birokrasi.

Selain itu, Yang Berhormat Kota Iskandar dan Parit Yaani juga telah membangkitkan tentang isu ketidak cukupan guru di sekolah yang padat dengan murid yang ramai. Ratio sekarang tidak salah saya, 45 pelajar : 1 student. Ha, saya test sahaja. 45 pelajar : 1 guru. Dia orang tidak tidur, Yang Berhormat, peka mendengar. Alhamdulillah. Memang tidak boleh dinafikan lagi, kita memerlukan tambahan guru dan sekolah baharu terutamanya di kawasan Johor Bahru, Pasir Gudang dan juga Kulai. Ketiga-tiga isu ini menggambarkan betapa kritikalnya cabaran pendidikan yang kita hadapi sehingga Pemangku Sultan Johor telah menitahkan supaya EXCO Pendidikan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan Yayasan Pelajaran Johor untuk melaksanakan satu lawatan kerja penanda aras di Singapura pada akhir bulan ini. Ini adalah bertujuan bagi kita mempelajari secara terus akan pendekatan mereka yang boleh kita contohi dan laksanakan dalam meningkatkan tahap pendidikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi air pula. Seperti yang dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, gangguan bekalan air telah berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri di Bukit Permai, Gambir dan Layang-Layang. Malah isu ini masih kerap lagi berlaku di kawasan-kawasan lain. Insya-Allah, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan agensi yang terlibat. (Dewan bertepuk). Suruhanjaya Perkhimatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawal juga, maaf, SPAN selaku badan pengawal perlu juga bertanggungjawab dan memberi perhatian serius ke atas titah Pemangku Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam isu miskin tegar pula. Duli Yang Amat Mulia Tunku telah bertitah, tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas tahun 2025. Dalam jangka masa 19 bulan yang akan datang, sila cari dan kenal pasti kawasan DUN anda. Titah Tunku ini, kerajaan negeri sambut dengan baik melalui inisiatif Johor Kasih yang berkonsepkan Keluarga Angkat. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Dewan, Pegawai-Pegawai Daerah dan kakitangan, Ahli-Ahli Majlis, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung dan tidak lupa juga kepada ketua-ketua jabatan serta agensi yang terlibat dalam usaha pemutihan miskin tegar yang giat dijalankan sejak tahun lepas lagi.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun lepas, Majlis Agama Islam Negeri Johor, telah menerima bayaran zakat sebanyak RM388,000,000.00. Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diperuntukkan jumlah RM269,000,000.00. Ini bermakna, sebanyak RM657,000,000.00 telah ada untuk membantu mereka yang memerlukan. Melihat kepada jumlah peruntukan yang sebesar ini, negeri Johor tidak sepatutnya lagi mempunyai rakyat di dalam kategori miskin tegar. Itu logik akalnya, Yang Berhormat Datuk Speaker. Atas sebab itu, pada tahun lepas, satu task force telah ditubuhkan untuk memutihkan data miskin tegar secara besaran di kawasan DUN yang melibatkan semua ADUN-ADUN. Jumlah miskin tegar telah menurun daripada 4,378 ketua isi rumah kepada 2,647 ketua isi rumah. Penurunan sebanyak 39.5% dalam masa enam bulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini dapat menjadi kenyataan. Penurunan ini dapat dilakukan tapi, saya ingin berkongsi perjalanan tersebut. Semasa proses pemutihan ini dijalankan pelbagai perkara telah kita temui. Ada yang tidak layak tetapi masih lagi menerima bantuan.

Ada yang telah meninggal dunia, tetapi masih lagi di dalam senarai. Ada juga yang menolak bantuan kerana rasa tidak layak. Di dalam kawasan saya sendiri di Machap, daripada senarai asal 20 ketua isi rumah hanya tujuh orang yang benar-benar layak dikategorikan sebagai miskin tegar. Mengapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku? Mereka yang tidak layak diberikan bantuan. Mereka yang layak pula masih terus mengharapkan dan menantikan bantuan. Saya mohon jasa baik Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk melakukan semakan ke atas data yang sedia ada dan turunlah padang untuk mengenal pasti jika ada lagi keluarga yang tercicir di kawasan masing-masing dan masih lagi memerlukan bantuan. Keluarga-keluarga angkat anda adalah tanggungjawab anda. Ambil beratlah tentang mereka sebagaimana anda mengambil berat terhadap darah daging sendiri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh kepada kesusahan rakyat. Yang Berhormat Kukup, Bekok dan Puteri Wangsa ada membangkitkan tentang isu kos sara hidup. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat telah begitu banyak menyuarakan kegusaran dan kebimbangan tentang cadangan rasionalisasi subsidi khususnya melibatkan kenaikan harga petrol dan diesel. Kerajaan negeri juga khuatir akan adanya kesan domino dan peningkatan inflasi apabila rasionalisasi subsidi ini dikuatkuasakan. Namun demikian, kerajaan negeri menaruh keyakinan terhadap jaminan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa pelaksanaan ini tidak akan membebankan rakyat. Cuma, sebelum membuat keputusan, kerajaan negeri berharap agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan pelaksanaan semula GST sebagai satu sumber pendapatan tambahan kepada kerajaan persekutuan untuk membantu rakyat. Ini juga selaras dengan pandangan yang diberikan oleh pakar-pakar ekonomi yang menyatakan bahawa GST adalah sistem percukaian yang terbaik untuk sesebuah negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya izinkan saya merujuk juga kepada Titah Pemangku Sultan Johor di mana Tunku mahu melihat semua projek-projek infrastruktur seperti perumahan, pembangunan jalan raya dan projek tebatan banjir di Johor dibangunkan mengkut tempoh masa yang telah ditetapkan. Mengenai isu perumahan, Yang Berhormat Bukit Permai selaku EXCO Perumahan telah memberikan penjelasan yang terperinci. Namun, saya ingin menyentuh perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kempas bahawa wujudnya cartel serta agent yang mengaku dan menyamar sebagai pegawai daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) yang boleh meluluskan permohonan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik dan permohonan untuk menduduki perumahan PPR. Ada di kalangan mereka yang memungut yuran perkhidmatan sebanyak RM3,000.00 hingga RM7,000.00 bagi setiap permohonan. Ingin saya tegaskan, bahawa ini adalah satu perbuatan yang jijik yang menjengkelkan. Kerana mereka mengambil kesempatan atas kesusahan dan kesempitan orang lain. Oleh itu, mereka ini perlu diberikan pengajaran dan hukuman yang berat supaya perkara ini tidak berulang lagi. Saya menggesa agar pihak berkuasa SPRM dan PKPJ bekerjasama untuk mengambil tindakan bagi menghentikan perbuatan menangguk di air yang keruh yang tidak bertanggungjawab ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon minum air.

Speaker

Sila.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri juga sentiasa memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan jaringan jalan raya yang merupakan mode perhubungan utama dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Yang Berhormat Kukup, Sri Medan, Kahang, Kota Iskandar, Bukit Batu, Senggarang, Pemanis, Bukit Naning, Bentayan, Sungai Balang, Penggaram, Tiram, Pekan Nenas, Senai, Parit Raja, Mengkibol juga menyentuh berkenaan kondisi jalan raya sedia ada serta cadangan-cadangan kerja-kerja naik taraf. Saya amat menghargai keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat terhadap isu-isu ini apatah lagi kealpaan dan kelewatan kita untuk segera bertindak menangani perkara ini boleh mengakibatkan

kecelakaan bahkan berkemungkinan merakut nyawa pengguna jalan raya. Tidak perlu untuk saya mengambil contoh yang jauh Yang Berhormat Datuk Speaker, di luar Dewan ini bulatan lebuh Kota Iskandar telah mencatatkan 38 kemalangan daripada 1 Januari tahun lepas hingga 15 Mei tahun ini. Malahan, terdapat satu kemalangan maut dicatatkan pada 7 April tahun ini. Walaupun angka kemalangan yang tinggi direkodkan, malangnya kawasan tersebut pada waktu malam masih lagi gelap gelita, tiada tanda amaran mahupun tindakan penambahbaikan diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tersebut. Ini belum lagi saya sentuh tentang isu jalan berlubang ataupun pot hole, kualiti jalan yang tidak memuaskan, papan tanda, garisan jalan dan guard rail yang tidak di selenggara semua isu ini antara penyumbang kepada jumlah kemalangan yang mencecah 67,000 dan mengakibatkan 805 kematian dalam tempoh setahun setengah. Sebab itulah saya sering memberi penekanan agar agensi-agensi yang bertanggungjawab tidak mengambil mudah dan segera mengambil tindakan yang sewajarnya. Dalam isu ini, nyawa yang menjadi pertaruhan. Takkanlah kita hendak menunggu sehingga batang hidung sendiri yang terkena. Atau menunggu sehingga orang yang kita sayangi menjadi sebahagian daripada statistik sebelum kita hendak bertindak.

Apakah perlu kita menunggu teguran daripada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan atau sehingga mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, baru tindakan hendak diambil?

Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Amat Mulia Tunku juga bertitah bahawa setiap rakyat Johor berhak untuk menikmati kemudahan kesihatan yang baik tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Syukur alhamdulillah. Pada masa ini, pembinaan Hospital Pasir Gudang sedang rancak berjalan mengikut jadual dan dalam masa yang sama, pembangunan HSA 2 juga telah diumumkan. Namun begitu, sementara menunggu kedua-dua hospital tersebut siap dibina, kerajaan negeri menyeru agar Kementerian Kesihatan segera mengambil tindakan untuk menangani isu kekurangan sumber manusia dan kekurangan aset perubatan agar fasiliti di hospital dan klinik kerajaan sedia ada dapat beroperasi secara optimum dan dimanfaatkan sepenuhnya. Sebanyak 2,389 perjawatan yang perlu diisi di kesemua fasiliti kesihatan awam di Johor. 433 yang perlu diisi di peringkat doktor pakar dan pegawai perubatan sementara 479 lagi di peringkat jururawat. Dalam masa yang sama, perancangan untuk pengisian perjawatan di Hospital Pasir Gudang dan HSA 2 perlu dimulakan sekarang agar kedua-dua hospital tersebut dapat mula beroperasi dengan optimum sebaik sahaja projek pembinaan disempurnakan. Kekurangan perjawatan dan fasiliti ini menyebabkan waktu menunggu bagi mendapatkan temu janji pakar untuk imbasan kesihatan seperti MRI atau CT scan menuntut masa sehingga 6 bulan lamanya. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam tempoh menunggu yang terlalu lama ini, ramai pesakit-pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan. Inilah realiti yang berlaku pada hari ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon maaf seandainya apa yang saya sampaikan, lontarkan dan kongsikan pada pagi ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Sesungguhnya apa yang terungkap dari mulut ini adalah tulus dari hati saya. Niat saya bukan untuk mencari salah mana-mana pihak, tetapi semata-mata kerana saya dan setiap dari kita bertanggungjawab untuk menyelesaikan seberapa banyak isu mahupun masalah legasi yang telah sekian lama membelenggu dan menghimpit Bangsa Johor.

Sejujurnya, saya yakin dan percaya bahawa sesuatu masalah itu hanya dapat benar-benar ditangani dan diatasi hanya sekiranya realitinya diakui dan didepani dengan berlapang dada. We must face the truth, the hard facts. Menyembunyikan realiti masalah yang ada tak ubahlah umpama kita membiarkan ia membiak, membusuk dan bernanah sehingga menjadi barah dan terlalu lambat untuk dirawat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya kita bertuah kerana menjadi rakyat di sebuah negeri yang telah sejak dari dahulunya terkedepan berbanding negeri-negeri lain di bumi Malaysia ini. Kejayaan ini tercipta hasil daripada pelbagai keistimewaan semula jadi Johor, yang dikurniakan Ilahi serta berkat wawasan kepimpinan, kerja keras dan komitmen tidak berbelah bahagi nenek moyang kita. Para pemimpin negeri Johor yang terdahulu dan negeri bertuah ini diwariskan ke tangan kita hari ini. Namun demikian, adakah itu bermakna kita harus selesa dan hanya menikmati apa yang ada. Tidakkah kita merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk menerus malah melipat gandakan momentum yang ada agar yang secupak dapat dijadikan segantang, agar yang sejengkal dapat dijadikan sedepa. Realitinya, mempertahankan kejayaan dan kegemilangan itu adalah jauh lebih sukar daripada mencipta. Kita berbangga dengan apa yang telah datuk, nenek kita berjuang dan pertaruhkan demi membawa Johor ke takuk yang ia berada hari ini. Namun, tidakkah kita mahu anak-anak muda kita, orang-orang muda Johor, anak cucu-cicit kita turut berkongsi perasaan bangga yang sama lantaran mengetahui ayah, ibu dan datuk, nenek mereka juga telah bekerja keras. Memerah keringat dan mencurah idea demi meneruskan kegemilangan Johor dan membawa ia ke takuk yang lebih terbilang dan disegani.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya maklum bahawa cara dan pendekatan saya dalam mentadbir urus kerajaan negeri ini dilihat agresif dan sangat laju. Namun, ini saya lakukan kerana saya insaf bahawa mandat, amanah dan tanggungjawab yang tergalas di bahu saya perlu saya jawab di depan Allah S.W.T. kelak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita tidak mempunyai banyak masa. Kita hanya mempunyai tempoh masa yang terhad untuk menyediakan asas yang kukuh bagi memastikan agenda Maju Johor dapat dijayakan. Tempoh masa lima tahun ini adalah masa yang amat istimewa dan berharga untuk negeri Johor. Tempoh masa lima tahun inilah yang perlu kita manfaatkan agar segala permohonan-permohonan infrastruktur utama menjadi realiti. Tempoh masa lima tahun inilah yang akan menentukan sama ada Johor berjaya menjadi sebuah negeri yang maju.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyeru dan merayu kepada semua rakan-rakan Ahli Yang Berhormat semua rakan-rakan, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, we can no longer work in silos. Marilah kita keluar daripada zon selesa dan bekerja sebagai satu pasukan. Agar kita dapat sama-sama mencapai kejayaan yang kita cintakan bersama. Seperti yang saya kongsikan pada minggu lepas dan setelah mendapat tuisyen daripada Yang Berhormat Stulang, ter ser ter pan (bahasa cina), in order to achieve extraordinary results, we must do things the extraordinary ways. Untuk mencapai hasil yang luar biasa, kita harus melakukan sesuatu tindakan dengan cara yang melangkaui kebiasaan. Business can not be as usual. Saya menyeru kepada seluruh Bangsa Johor, ayuhlah kita sama-sama mengorak langkah sedarab, senada bagi membangun dan memajukan negeri Johor yang dikasihi. Untuk rakan-rakan Jawa saya, ayuh (bahasa Jawa).

Speaker

Banjar ke Yang Amat Berhormat? Banjar, Banjar.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Banjar sidang yang akan datang. Untuk rakan-rakan India saya pula, (bahasa India). Betul ya Yang Berhormat Raven? Maksudnya, sama-sama kita majukan Johor. Manfaatkanlah masa dan peluang ini untuk terus memahat negeri Johor sebagai negeri terbaik di negara ini. Dengan semangat yang baharu, azam yang membara dan pemikiran berkemajuan di luar kotak yang luar biasa. Dengan harapan dan kata-kata tersebut izinkan saya mengakhiri ucapan pergulungan saya dengan sepotong ayat dari surah al-Radh sebagai renungan kita bersama. (Bacaan ayat Al-Quran). Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Machap memohon menyokong usul Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat pada saya inilah ucapan penggulungan yang paling kritis dan konstruktif. Di situ ada kritikan, di situ ada teguran, di situ ada kejujuran, di situ ada keterbukaan, di situ ada kebenaran. Dan di situ juga pada saya ada perkara-perkara baharu contohnya, Mesyuarat Tindakan DUN, dua kali setahun yang turut akan dihadiri oleh Pegawai Daerah. Ini adalah perkara baharu, pokoknya, Ahli-Ahli Yang Berhormat, are you willing to speak the truth. Dan inilah yang ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Bayangkan peruntukan sudah pun diluluskan pada tahun 2021 untuk 14 sekolah daif tetapi hingga ke hari ini belum dilaksanakan dan beliau juga Yang Amat Berhormat menyentuh perkara-perkara besar seperti GST. Sebab itulah, bercakaplah daripada hati nurani kita, our consignes. dengan izin.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, demikianlah ucapan jawapan dan penggulungan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat Rundingan di hadapan Dewan ini adalah supaya dipersembahkan kepada Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor satu ucapan menjunjung kasih sebagaimana berikut, ampun tuanku. “Adalah patik, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor yang Ke 15. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan. Terima kasih.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2024.Bill

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, Saya mohon membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2024 dibacakan kali yang pertama.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rang Undang-Undang ini dibaca kali pertama.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa saya akan membawa Rundingan untuk bacaan kali yang kedua bagi Rang Undang-Undang ini pada hari ini juga; dan saya membawa Rundingan supaya Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang ini pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan pada hari ini juga.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, Peraturan Tetap 112(2) ditangguhkan sementara.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.

Tambahan Peruntukan ini merupakan tambahan bagi Perbelanjaan Bekalan Tahun 2024. Tambahan Peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM19,798,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2024 di bawah Empat (4) Jawatankuasa seperti berikut:

1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri Johor RM14,804,000.00.

2. Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor RM935,000.00.

3. Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor RM4,006,000.00.

4. Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Negeri Johor RM53,000.00.

Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang. Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibaca kali yang kedua.

Jurutulis

Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud yang tertentu.

Dewan Bersidang Sebagai Jawatankuasa.

Jurutulis

JADUAL.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM14,774,000.00, bagi Kepala Perbelanjaan B.03, Pejabat Setiausaha Kerajaan itu, hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Di bawah Maksud Bekalan B.03 - Pejabat Setiausaha Kerajaan, peruntukan tambahan yang diperlukan sebanyak RM14,774,000.00. Dari jumlah tersebut sebanyak RM4,589,000.00 adalah menampung kekurangan peruntukan bagi tambahan gaji Timbalan Speaker, tambahan elaun khas, elaun ADUN dan elaun keraian YAB Menteri Besar, YB EXCO, ADUN dan Ex-Officio. Selain itu bagi menampung kekurangan peruntukan untuk pemberian elaun perayaan YB Pegawai Kewangan Negeri dan seorang EXCO yang baru dilantik. Manakala, sebanyak RM10,185,000.00 adalah bagi menampung kekurangan peruntukan untuk pembelian peralatan keselamatan, pakaian seragam, aksesori, bekalan-bekalan lain serta kelengkapannya. Dewan Negeri Johor RM4,589,000.00, Kem Sultan Ibrahim RM10,185,000.00.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM53,000.00 bagi kepala perbelanjaan B.19, Jabatan Perhutanan itu hendaklah menjadi sebahagian daripada jadual ini.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Di bawah maksud bekalan B19, Jabatan Perhutanan, peruntukan tambahan sebanyak RM53,000.00 diperlukan bagi menampung kekurangan peruntukan kerana pembayaran kepada kakitangan yang memohon kemudahan pemberian awal award wang tunai gantian cuti rehat (GCR).

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM4,006,000.00 bagi kepala perbelanjaan B.21, Jabatan Agama Islam itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Dengan izin Datuk Pengerusi, di bawah maksud bekalan B.21 Jabatan Agama Islam, peruntukan tambahan sebanyak RM4,006,000.00 diperlukan bagi menampung bayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 serta Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 pada guru KAFA sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2024.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapat persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM935,000.00, bagi kepala perbelanjaan B.23, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor hendaklah menjadi sebahagian daripada Jadual ini.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Di bawah maksud Bekalan B.23 Jabatan Kebajikan Masyarakat peruntukan tambahan sebanyak RM935,000.00 diperlukan bagi menampung bayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 serta Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 kepada petugas-petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagaimana Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2024.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM30,000.00, bagi kepala perbelanjaan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Di bawah maksud bekalan B.43, Pejabat Daerah Batu Pahat, peruntukan tambahan sebanyak RM30,000.00 diperlukan bagi menampung kekurangan peruntukan kerana pembayaran gantian cuti rehat kepada waris kakitangan yang telah meninggal dunia.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Jurutulis

FASAL 2.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal Dua jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal Dua jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Jurutulis

FASAL 1.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah supaya Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Fasal 1 jadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Dewan Negeri bersidang semula.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang ini telah pun dipertimbangkan dalam Jawatankuasa satu persatunya dan dipersetujukan tanpa pindaan maka saya membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang ini yang dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2024 dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan sekarang. Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang ketiga dan diluluskan.

Jurutulis

Bahawa dengan ini adalah Diperundang-Undangkan oleh Dewan Negeri Johor seperti berikut :

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan Tahun 2024.

Peranggaran Pembangunan Tambahan Pertama Tahun 2024.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa Rundingan supaya Dewan ini serta merta berpindah menjadi Jawatankuasa bagi keseluruhan Dewan Negeri ini untuk menimbangkan peranggaran pembangunan tambahan pertama tahun 2024 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bilangan 2 Tahun 2024 dan memperakukan sama ada peranggaran itu patut diluluskan oleh Dewan ini dengan dipinda atau tiada dipinda. Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan pertama bagi peranggaran pembangunan tahun 2024. Tambahan peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM3,300,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam peranggaran pembangunan tambahan pertama di bawah satu Jawatankuasa seperti berikut: Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, RM3,300,000.00, penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Pengerusi

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini iaitu jumlah wang sebanyak RM3,300,000.00 bagi kepala perbelanjaan P.73, Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Di bawah maksud pembangunan P.73, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, peruntukan tambahan yang diperlukan sebanyak RM3,300,000.00. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM1,100,000.00 adalah untuk menampung kekurangan peruntukan bagi menaik taraf sistem penyaman udara berpusat dan parkir kereta di Pusat Islam Iskandar. Sebanyak RM320,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi kerja baik pulih kuarters kakitangan Pejabat Kadi Daerah Kluang, Muar, Tangkak dan Mersing. Sebanyak RM1,320,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan pembangunan tapak Perkuburan Bandar Putra Kulai dan kerja-kerja kecemasan di tanah perkuburan meliputi 10 daerah di Johor sebanyak RM500,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan kerja-kerja kerosakan, kecemasan bumbung, siling, di Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, Telok Belanga, Singapura.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Pengerusi, oleh sebab maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 2 Tahun 2024 itu telah pun selesai dipertimbangkan, maka saya membawa Rundingan supaya ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu dimaklumkan serta merta kepada Dewan Negeri ini.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapat keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, perkara itu dipersetujukan.

Dewan Negeri bersidang semula.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Jawatankuasa Dewan ini telah pun menimbang dan meluluskan tanpa pindaan maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 2 Tahun 2024. Dari itu, saya membawa Rundingan supaya Dewan ini bersetuju dengan ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu iaitu peruntukan wang berjumlah RM3,300,000.00 yang dicadangkan bagi peranggaran pembangunan tambahan pertama tahun 2024 itu diluluskan oleh Dewan Negeri ini. Dan dengan itu mengambil ketetapan bahawa sejumlah wang yang tidak melebihi RM3,300,000.00 hendaklah dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan dalam tahun kewangan 2024 bagi menyempurnakan maksud yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat yang tersebut.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong Rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju sila angkat tangan, yang tidak bersetuju, Rundingan itu dipersetujukan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah selesai sudah Persidangan kali ini. Terima kasih diucapkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan. Untuk makluman semua, makan tengah hari ada disediakan di Dewan Banquet Aras 2, Bangunan Sultan Ismail. Dijemput semua hadir dan saya ingin mengucapkan selamat pulang balik ke kawasan masing-masing, jaga kawasan kalau bercuti jangan lama sangat, ya, dan oleh itu Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini saya tangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.45 pagi.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Sufian bin Suleiman

Koordinator

Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Pembantu Penerbitan

Puan Malina binti Mohd Nasir Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said (K) Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hairun Nurul Ain binti Zainal Abidin Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar