Johor · 21 November 2024
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · not final · 33 turns · 11,402 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2025) Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Persidangan kali ini akan mengambil masa selama tujuh (7) hari bermula pada hari ini, 21 November 2024 sehingga 1 Disember 2024.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 22 November 2024, patik dan seluruh Ahli Dewan Negeri merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Semoga Allah Subhanahu Wa Taála memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.
Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas-Kertas Mesyuarat Bilangan 29 hingga 34 Tahun 2024.
Bilangan 29 Tahun 2024 - Anggaran Perbelanjaan Tambahan Ketiga Tahun 2024.
Bilangan 30 Tahun 2024 - Peranggaran Tambahan Pembangunan Ketiga Tahun 2024.
Bilangan 31 Tahun 2024 - Laporan Jawatankuasa Belanjawan Negeri Mengenai Peranggaran Negeri Johor Tahun 2025.
Bilangan 32 Tahun 2024 - Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Johor Tahun 2025.
Bilangan 33 Tahun 2024 - Penyata Kewangan Negeri Johor Bagi Tahun 2023.
Bilangan 34 Tahun 2024 - Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 dan Laporan Memorandum Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Tahun 2023 Serta Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 35 Tahun 2024.
Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15
Bilangan 35 Tahun 2024 - Resolusi untuk Penutupan Kumpulan Wang Amanah di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) bagi tujuan Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Johor.
Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2024.
Bilangan 36 Tahun 2024 - Penyata Kewangan Lembaga Kumpulan Wang Amanah Orang-Orang Islam Negeri Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024Bill
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan menurut peraturan Tetap 15(3) supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024 dikemukakan sekarang tanpa mengikut Susunan Perkara-Perkara Mesyuarat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024 dikemukakan sekarang;
Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang yang dinamakan Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024 dibaca kali yang pertama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Rang Undang-Undang ini dibaca kali kedua... kali yang pertama.
Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan tahun 2025 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.
Bismillahirrahmaanirrahim. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taála kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua, dapat kita bersama-sama hadir di dalam Dewan sesi pembentangan Belanjawan Johor 2025 pada hari ini.
Marilah kita turut sama-sama melafazkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, pemimpin agung yang sentiasa menjadi pedoman dan teladan buat kita sehingga ke akhir zaman.
MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15 Sebelum meneruskan bicara, izinkan patik juga terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November 2024, esok. Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taála semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat DiRaja sekalian dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya. Kapal belayar dikemudi nakhoda, dari lautan hingga ke kota; raja dan rakyat berpisah tiada, lambang kemakmuran negeri tercinta. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri demi kepentingan dan kemaslahatan Bangsa Johor. Negeri Johor negeri lestari, majukan negeri menjadi cita; raja lambang kedaulatan negeri, rakyat bernaung di payung mahkota. Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor kini sedang berada di persimpangan penting dengan pelbagai potensi-potensi yang memungkinkan kita mencatat lembaran sejarah baharu. Kita sedang meniti dan melalui satu era yang penuh dengan ruang dan peluang yang tidak boleh tidak mesti direbut. Ruang dan peluang yang bakal merubah landskap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini. The stars have finally... The stars have finally aligned in Johor’s favour. Malah pucuk pimpinan negara melihat Johor sebagai The Next Engine Of Growth For The Country. Justeru marilah kita menjemur sementara hari masih panas kerana adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur alhamdulillah dalam tempoh 2 tahun, Johor telah menarik pelabur sejumlah RM113.7 bilion menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan. Pada bulan September yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah melancarkan pakej, Pakej Insentif bagi Zon Kewangan Khas (SSZ) yang berpengkalan di Forest City. Menjelang hujung tahun ini pula, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Dengan pelaksanaan zon ekonomi khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana. Dan pada hari ini, syukur alhamdulillah berkat usaha semua pihak, buat pertama kali dalam sejarah kita, Johor akan merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion pada tahun 2024. (Dewan bertepuk). Ini semua tak ubah umpama air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji. Yang Berhormat Datuk Speaker, bukan itu sahaja bagi pihak kerajaan negeri, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani di atas pengumuman peruntukan sebanyak RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Rolling Plan Ke-5 (2025) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Negeri Johor yang merangkumi 143 projek baru dan 433 projek sambungan. Antaranya termasuklah: 1. Pembinaan Fasa ke-3 lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) daripada 4 lorong ke 6 lorong dari Simpang Renggam ke Machap... kebetulan Machap kawasan saya. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
2. Membina persimpangan bertingkat baru di Lebuhraya Second Link dan penambahbaikan rangkaian jalan di kawasan Gelang Patah ke arah Stadium Sultan Ibrahim.
3. Menaik aras dan memperelok jalan dari Johor Bahru ke Mersing.
4. Menaik taraf dan melebar jambatan Pontian Besar.
5. Pembinaan 18 buah sekolah baru termasuk sebuah sekolah murid berkeperluan khas.
6. Pembinaan Baraj takungan air pinggiran sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.
7. Menaik taraf loji rawatan kumbahan serantau sedia ada dan membina paip rangkaian paip, pembentungan di Sungai Kim-Kim untuk mengekang pencemaran air.
8. Projek pemuliharaan Sungai Skudai di Daerah Kulai dan Johor Bahru.
9. Pembangunan Projek Perumahan Inklusif Madani (PIM) di Johor Bahru dan
10. Pembinaan Dataran Penghujung Benua Asia di Taman Negara Johor Tanjung Piai dan banyak lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita juga bakal menyaksikan Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Johor dengan Singapura mula beroperasi sekitar awal tahun 2027. Insya-Allah inisiatif ini akan digandingkan dengan penaiktarafan infrastruktur berskala mega termasuk pengenalan sistem pengangkutan Elevated-ART secara PFI.
Tidak cukup dengan itu, sekali lagi berkat kerjasama semua pihak, pelbagai pencapaian dan inisiatif juga telah dijayakan oleh kerajaan Johor seperti:
1. Pembukaan semula Johor Zoo baru-baru ini. Datuk Speaker dah bawa cucu-cucu?
Belum Yang Berhormat, belum ada masa.
Nak tiket free mintak dengan Datuk Jafni.
Insya-Allah terima kasih.
Pembasmian miskin tegar menerusi Program Keluarga Angkat dan Dapur Kasih Johor, Program Bina Baharu Dan Baik Pulih Rumah Bagi Golongan Asnaf, membina lebih banyak Perumahan Mampu Milik, Jualan Kasih Johor, Program Semarak Subuh, Insentif Khemah untuk usahawan mikro, Bantuan Bilik Guru dan Bilik Pantri Kakitangan Kesihatan, menaik taraf jalan-jalan di Johor dan banyak lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur alhamdulillah kejayaan Negeri Johor tidak terhenti setakat itu. Ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang mencatatkan perkembangan sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023. Angka ini melepasi paras pertumbuhan nasional iaitu 3.6 peratus dengan nilai KDNK berjumlah RM148.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM142.4 bilion pada tahun 2022.
Prestasi ekonomi juga yang memberangsangkan ini juga dibuktikan dengan peningkatan jumlah import sebanyak 16% kepada RM290 bilion berbanding tahun lepas. Peningkatan import dan eksport berjumlah RM561.6 bilion membawa Johor untuk muncul sebagai penyumbang kedua terbesar dalam perdagangan negara. Sektor pembinaan terus merekodkan pertumbuhan dengan nilai berjumlah RM17.1 bilion berbanding RM10.8 bilion MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
pada tahun lepas. Kadar pengangguran terus kekal pada kadar yang rendah iaitu 2.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya yakin dengan sepenuh hati bahawa semua pencapaian-pencapaian yang saya sebutkan tadi hanyalah bibit-bibit permulaan yang insya-Allah akan menjadi titik tolak kepada sebuah era baharu yang menjanjikan masa depan yang lebih gemilang buat seluruh Bangsa Johor. Dengan izin Allah, Johor bakal menjadi muara kepada segala limpahan peluang ekonomi yang mengalir bukan saja daripada jiran kita di seberang tambak, bahkan dari serata ceruk rantau dan pelosok dunia. Kesemua peluang ekonomi ini akan menjadi limpahan rahmat dan manafaat yang begitu besar khususnya kepada Bangsa Johor kerana kalau jernih airnya, jinaklah ikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai hamba dan juga khalifah di muka bumi Allah ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa berusaha dan berikhtiar dengan sepenuh daya dan upaya. Setelah usaha dan ikhtiar dilaksanakan sepenuh jiwa raga dan hati haruslah kita bertawakal kepadaNya kerana yang menentukan segala-segalanya hanyalah Allah SWT. Namun, apa yang lebih penting kita wajib bersyukur atas segala limpah kurnia, rahmat dan rezeki yang telah dianugerahkan Ilahi. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat ke-7, (Bacaan surah) yang bermaksud, “Dan ingatlah ketika tuhanmu mengingatkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah nikmatKu kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmatKu pasti azabKu sangat perit.
Ayat ini mengingatkan saya akan janji Allah SWT bahawa bersyukur adalah kunci utama yang membuka pintu-pintu rezeki serta keberkatan sementara kelalaian dan mengkufuri nikmat yang diberi oleh-Nya akan mengundang azab yang sangat perit.
Justeru saya ingin mengingatkan diri saya dan semua yang berada di dalam Dewan yang muilia ini walau pun kita diuji dengan kesusahan dan kesempitan menempuh onak duri dan cabaran janganlah kita sekali-kali lupa akan segala limpahan rahmat, rezeki dan kesenangan yang telah dikurniakan oleh-Nya selama ini. Tanam dan sematkanlah rasa syukur yang ikhlas dan mendalam di hati kerana sesungguhnya terlalu banyak yang telah diberikan oleh-Nya dan ia hanyalah pinjaman yang boleh ditarik balik dengan sekelip mata. Jika kita lalai dan alpa dalam menghargai dan mensyukuri. Nauzubillah min zalik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi tahun 2025 tahun depan sukacita saya maklumkan bahawa unjuran hasil Negeri Johor adalah sebanyak RM2.005 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024. Unjuran perbelanjaan pada tahun 2025 pula adalah sebanyak RM1.999 bilion. Angka-angka ini menunjukkan bahwa Belanjawan Johor 2025 merupakan belanjawan surplus dengan sebanyak RM5.12 juta. Sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan Belanja Mengurus, manakala sejumlah RM728 juta diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan.
Dengan bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan Johor 2025 ini digubal dengan berpegang kepada prinsip bahawa segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Maju Johor tonggak utama, enam teras menjadi landasan; Bangsa Johor ayuh bersama, perkasa negeri penuh wawasan.
Mahkota Johor bertatah mutiara, indah sinar kilau gemerlapan; Maju Johor rakyat sejahtera, Belanjawan 2025 saya bentangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2025 yang akan dibentangkan pada hari ini berpegang kepada enam teras Maju Johor yang merangkumi 244 inisiatif.
Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15
Johor gemilang negeri lestari, mencetus sejarah mencipta harapan; tadbir urus nadi negeri, memacu perkhidmatan masa hadapan. Teras Pertama ialah Tadbir Urus Kerajaan. Kecekapan dan keberkesanan pentadbiran sesebuah kerajaan sememangnya bergantung kepada pengalaman, pengamalan tadbir urus terbaik di semua peringkat. Atas dasar itu tadbir urus diletakkan sebagai Teras Pertama dalam agenda Maju Johor. Ia menjadi indikator paling penting yang akan menunjangi komponen-komponen teras yang lain.
Bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menjayakan Teras Pertama ini sebanyak 43 inisiatif telah dikenal pasti untuk terus memperkukuhkan tadbir urus di Negeri Johor.
Inisiatif pertama ialah Keberkesanan Sistem Penyampaian Perkhidmatan melalui cuti hujung minggu di Negeri Johor. Patik bagi pihak kerajaan negeri menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor serta restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi pelaksanaan cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, insya-Allah tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manafaat kepada seluruh Bangsa Johor di mana mereka akan mendapat masa yang lebih berkualiti bersama ahli-ahli tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu. Di samping itu ia juga akan memberi kesan yang positif kepada ekonomi negeri. Seiring dengan perubahan tersebut jadual waktu bekerja jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di Negeri Johor akan diselaraskan mengikut pelaksanaan di peringkat persekutuan.
Bagi memastikan kemuliaan hari Jumaat terus terpelihara dan umat Islam termasuk yang bekerja di sektor swasta dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa, kerajaan negeri ingin membuat ketetapan supaya waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat dilanjutkan daripada 1 jam 30 minit kepada 2 jam. (Dewan bertepuk). Seterusnya bagi memastikan pelajar-pelajar lelaki yang beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat maka Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Agama Islam bersama Jabatan Mufti akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menambah bilangan surau termasuk surau atau dewan yang berada di dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria untuk diberikan kebenaran melakukan solat Jumaat. Ini Dato’ Mufti ada? Betul Dato’ Mufti ya?
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa yang sama kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem pencapaian perkhidmatan antaranya;
1. Memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara atas talian atau online.
2. Memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat di antara jam 1:00 tengah hari sehingga 2:00 petang dan
3. Menyeragamkan waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekiranya usaha-usaha penambahbaikan tersebut berjalan dengan baik dan lancar, insya-Allah pada masa hadapan kerajaan negeri dengan perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dengan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersedia untuk mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada 4 MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja untuk sektor awam. (Dewan bertepuk). Betul ya Tan Sri SS?
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjunjung titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim, inisiatif kedua sebanyak RM1.3 juta diperuntukan bagi Johor Volunteers Force, JVF yang akan menjadi platform kepada seluruh penjawat awam Negeri Johor untuk menerima latihan kesukarelawanan bagi pengurusan kecemasan dan bencana. Inisiatif ketiga sebanyak RM37 juta diperuntukan bagi pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, SSPA yang selari dengan pengumuman kerajaan persekutuan. Melalui inisiatif ini, penjawat awam akan menerima kenaikan gaji sebanyak 8 peratus mulai 1 Disember tahun ini dan seterusnya kenaikan 7 peratus pada 1 Januari 2026. Inisiatif keempat, khas untuk Pegawai-Pegawai Daerah, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi Sumbangan Bantuan Pegawai Daerah. Ini adalah peningkatan sebanyak RM500,000.00 berbanding ucapan tahun lepas. (Dewan bertepuk). Inisiatif kelima, yang tepuk Datuk Speaker ADUN-ADUN bukan Pegawai Daerah, sebab kalau banjir ADUN-ADUN cari DO dulu. Inisiatif kelima sejumlah RM14.9 juta diperuntukkan bagi Geran Kesimbangan Pihak Berkuasa Tempatan, PBT bagi menampung keperluan PBT-PBT yang mempunyai sumber hasil yang terhad. Inisiatif keenam, sebanyak RM81.5 juta diperuntukan bagi projek pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Daerah Kluang. Inisiatif ketujuh, RM4.8 juta diperuntukkan untuk menaik taraf PTG, Pejabat Tanah Johor dengan pertambahan 9 kaunter pentadbiran bagi meningkatkan bilangan urusan penserahan. Inisiatif ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter di PTG tetapi juga dapat mempercepatkan serta meningkatkan terimaan hasil bagi transaksi berkaitan Hak Milik Srata daripada RM48 juta kepada RM120 juta setahun. Inisiatif kelapan, adalah Pelaksanaan Cukai Petak Bagi Hak Milik Strata. Inisiatif baru ini akan membolehkan pemilik hartanah berstrata untuk terus membayar cukai petak di Pejabat-pejabat Tanah berbanding pada masa ini. Cukai di bayar kepada JMB atau MC. Bagi menyokong inisiatif ini, kerajaan negeri bersetuju memberikan rebat 20 peratus ke atas jumlah cukai petak 2025 yang dijelaskan sebelum Mei 2025, 31 Mei 2025. Inisiatif kesembilan, RM500,000.00 diperuntukan bagi Galakan Bayaran Cukai Tanah Secara Atas Talian. Melalui inisiatif ini pemilik tanah yang membayar cukai secara atas talian berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan jongkong emas, telefon pintar dan motorsikal Yamaha YSuku. Inisiatif kesepuluh, sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi penyediaan kaunter bergerak untuk pentadbiran tanah Johor. Inisiatif kesebelas, sebanyak RM1.55 juta diperuntukan bagi menyediakan Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) Dan E-serahan. Inisiatif baharu ini bagi membolehkan permohonan carian hakmilik, kebenaran pindah milik (consent) dan serahan urus niaga serta bukan urus niaga dilaksanakan secara dalam talian. Sejumlah RM480,000.00 diperuntukan bagi pembangunan Sistem Pengurusan Tanah Serah Balik Punya Semula (E-SBKS) ini juga merupakan inisiatif baharu untuk meningkatkan tahap kecekapan dan kepantasan proses kelulusan pembangunan tanah. Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap hari kerajaan negeri dan saya sendiri menerima aduan daripada rakyat melalui laman media sosial berkenaan masalah yang mereka hadapi. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Antaranya isu jalan berlubang, lampu jalan tidak hidup, fasiliti kesihatan yang uzur, longkang dan parit yang tidak diselenggara dan banyak lagi. Ibarat mencurah air ke daun keladi, rayuan mereka seperti tidak diendahkan kadang-kadang oleh pihak yang berwajib. Sehingga ada yang merayu untuk saya datang buat spot check. Banyak kali rakyat buat aduan, tetapi tidak ada tindakan atau maklum balas yang diberikan. Oleh itu, bagi memastikan setiap aduan yang diterima disalurkan, diselesaikan dan diberikan maklumbalas yang efisien dan baik kerajaan negeri akan melaksanakan; Inisiatif ketiga belas, sebanyak RM1.5 juta diperuntukan bagi penyediaan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor secara berfasa. (Dewan bertepuk). Inisiatif ini akan membolehkan rakyat mengutarakan aduan dan diterima oleh kerajaan secara real time dan berpusat. Aduan yang diterima ini pula akan disalurkan kepada agensi yang berkenaan untuk diambil tindakan segera dan memberi maklum balas kepada pengadu. Inisiatif ini akan dipantau sendiri oleh Pejabat Menteri Besar Johor. Inisiatif keempat belas, adalah penyediaan Pelan Induk Geospatial sebagai dasar utama perkongsian data dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri. Inisiatif kelima belas, RM700,000.00 diperuntukan bagi teknologi AI dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri, PKPJ. Inisiatif ini bertujuan mempercepat proses saringan permohonan Perumahan Rakyat, Rumah Mampu Milik dan Hartanah Bumiputera disamping meningkatkan ketetapan, kepantasan dan kecekapan kos dengan menilai data secara objektif dan automatik dalam skala besar. Inisiatif keenam belas, sejumlah RM12.8 juta diperuntukkan untuk Caruman Perubatan Kepada Penjawat Awam Negeri Johor. Pertambahan sebanyak RM2 juta berbanding tahun 2024. RM1.2 juta diperuntukan bagi Skim Takaful CUEPACS CARE yang memanfaatkan penjawat awam dan ahli keluarga mereka. RM600,000.00 pula diperuntukkan bagi melaksanakan Program Heal Empower Resilience bagi mempromosi gaya hidup sihat dan sejahtera emosi meliputi kesihatan fizikal dan kesihatan mental. RM800,000.00 diperuntukkan untuk meneruskan kerjasama dengan Kumpulan Perubutan Johor, KPJ bagi Program Johor Sihat khusus untuk Penjawat Awam Negeri Johor melakukan pemeriksaan kesihatan. RM200,000.00 diperuntukan bagi melaksanakan Program Seluhur Kasih untuk menyantuni penjawat awam dan pesara yang kurang bernasib baik. Inisiatif kedua puluh satu, adalah pelaksanaan Penambahbaikan Modul I-Psikologi untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kesihatan mental. Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif kedua puluh dua sebanyak RM127,000.00 diperuntukkan bagi Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO. Inisiatif baharu ini akan memanfaatkan semua Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat. (Dewan bertepuk). RM150,000.00 pula diperuntukkan bagi kursus Peningkatan Profesionalisma Institusi Pemimpin akar umbi yang juga melibatkan Ketua-ketua Kampung dan Ketua Masyarakat. Sejumlah RM120,000.00 diperuntukan untuk pemberian Geran Pentadbiran Dan Pengurusan Persatuan Ketua Kampung Negeri Dan Daerah. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
RM150,000.00 diperuntukkan bagi Penganjuran Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pembangunan kapasiti penjawat awam Akademi Perkhidamatan Tadbir Negeri Johor atau Akademi JCS telah pun melaksanakan lebih seratus program pengukuhan kompentensi dan kepakaran penjawat awam melalui kerjasama strategik pelbagai institusi dalam dan luar negara. Justeru, Akademi JCS akan terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menjayakan agenda Maju Johor melalui program tersebut. Inisiatif kedua puluh enam, RM1.8 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 15 program peningkatan kemahiran untuk pelbagai kumpulan pelaksana. RM1.43 juta pula diperuntukkan untuk menjalankan Program Diploma dan Sijil Profesional dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi serta Program Route To Professional Certification bagi Technologists dan technician dengan kerjasama MBOT. RM770,000.00 diperuntukan bagi mengadakan Kursus Kepimpinan Pegawai Kanan di institusi pengajian tinggi terkemuka dunia. RM1.4 juta diperuntukan bagi Program Sarjana dan PHD untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional termasuk program di bawah tajaan Majlis Agama Islam Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif ketiga puluh adalah Memperkukuh Tadbir Urus Syiar Islam. Majlis Agama Islam Negeri Johor akan mencapai usia 100 tahun pada tahun 2025. Selaras dengan usia yang bakal mencecah satu abad, MAIJ terus berkembang dalam pelbagai aspek pengurusan dan fungsinya terutama dalam urusan berkaitan zakat, baitulmal dan wakaf selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003. Alhamdulillah sehingga bulan Oktober 2024, kutipan zakat adalah sebanyak RM286.7 juta telah dikutip oleh MAIJ dan insya-Allah jumlah kutipan diunjurkan akan mencecah RM400 juta menjelang penghujung tahun ini.
Datuk Speaker dah bayar zakat?
Sudah Yang Berhormat.
Kalau nak tambah boleh lagi Datuk Speaker.
Keseluruhan terimaan zakat ini akan diagihkan dengan adil, saksama serta telus kepada golongan yang berkelayakan di samping mempertingkatkan lagi syiar Islam.
Pada tahun 2025, MAIJ telah mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM423 juta dan akan diagihkan pada tahun yang sama. Bagi terus menyemarakkan syiar zakat ini, saya menyeru kepada semua umat Islam di Negeri Johor agar terus menunaikan kewajipan berzakat di samping menyumbang kepada saham-saham wakaf melalui MAIJ dan nazir khas lantikan MAIJ.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri dan MAIJ juga akan melaksanakan;
Inisiatif ketiga puluh satu, sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Semarak Subuh yang dilaksanakan di setiap 56 DUN, berbanding RM1.4 juta pada tahun ini. Menyedari keberkatan dan impak positif solat subuh berjemaah ini untuk tahun 2025, Program Semarak Subuh akan dilaksanakan dua kali seminggu. (Dewan bertepuk). Saya tengok Datuk Speaker tak tepuk.
Saya amat setuju Yang Amat Berhormat... kalau boleh tiap-tiap hari (ketawa). MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Inisiatif ketiga puluh dua, sebanyak RM18.1 juta diperuntukkan bagi kenaikan 100 peratus elaun pegawai masjid dan surau yang dibayar oleh kerajaan negeri. Untuk makluman, kali terakhir elaun ini dinaikkan adalah 12 tahun yang lalu.
Sebanyak RM3.5 juta juga diperuntukkan bagi pemberian insentif one-off sebanyak RM500.00 kepada 6,970 Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor serta akan dipanjangkan kepada 56 penggerak DUN yang akan dibayar pada bulan Mac tahun depan. (Dewan bertepuk).
Inisiatif ketiga puluh empat, sejumlah RM4.7 juta diperuntukkan bagi pengisian seramai 300 orang guru baharu di sekolah-sekolah agama kerajaan Johor bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengurangkan beban tugas.
Inisiatif ketiga puluh lima, sebanyak RM8.9 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama MAIJ bagi bantuan one-off bilik guru untuk 1,779 buah Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Agama Kerajaan Johor, SJKC dan SJKT di seluruh negeri Johor. Setiap bilik guru akan diberikan bantuan melalui kerajaan negeri.
Inisiatif ketiga puluh enam, sebanyak RM100,000.00 diperuntukkan bagi pelaksanaan modul pengukuhan integriti dan anti rasuah.
Inisiatif ketiga puluh tujuh, adalah pelaksanaan Mesyuarat Tindakan DUN yang akan diteruskan bagi memperkukuhkan lagi tadbir urus peringkat akar umbi dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu-isu berskala kecil dan besar yang dibangkitkan oleh rakyat.
Inisiatif ketiga puluh lapan pula, sejumlah RM300,000.00 telah diperuntukkan bagi Invest Malaysia Facilitation Centre Johor, IMFC-J. Ini YB Perling pakar ni. IMFC-J akan berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan negeri Johor dengan melibatkan kerjasama erat semua agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri yang berkaitan pelaburan serta PBT-PBT.
Kerajaan negeri, Yang Berhormat Speaker, akan memperkenalkan Johor Super Lane atau JSL di IMFCJ ini sebagai sebuah platform penyeragaman proses dan peningkatan ease of doing business di JS-SEZ. JSL adalah manifestasi penambahbaikan kepada inisiatif Kulai Fast Lane yang telah menjadi tanda aras, rujukan dan ikutan PBT lain di Johor dan juga PBT di negeri-negeri lain seperti Melaka dan Selangor. Malah perkara ini juga telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan beliau baru-baru ini.
Antara penambahbaikan yang signifikan melalui pelaksanaan JSL adalah penjimatan masa sebanyak dua tahun kepada proses pemajuan tanah yang belum mempunyai kebenaran merancang susun atur, masa yang dipendekkan daripada 37 bulan kepada 13 bulan sahaja. Bahkan lesen operasi akan dikeluarkan dalam tempoh 1 jam sahaja selepas CCC dikemukakan.
Inisiatif ketiga puluh sembilan, adalah penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor atau dikenali sebagai Johor Talent Development Council (JTDC) yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, JTDC akan menjadi tonggak bagi usaha menampung keperluan bakat dan tenaga kerja mahir dalam kalangan orang muda yang diperlukan oleh industri selari dengan pelaksanaan JS-SEZ.
Inisiatif keempat puluh adalah mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Inisiatif ini bagi meningkatkan penglibatan Ahli-Ahli Yang Berhormat rentas parti yang berperanan mengkaji keberkesanan serta mencadangkan penambahbaikan yang MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
boleh diambil oleh agensi yang berkaitan dalam memastikan JS-SEZ, IMFC-J dan JTDC memberi manfaat yang optimum kepada Bangsa Johor. Terima kasih Yang Berhormat Benut atas cadangan ini.
Inisiatif keempat puluh satu, sebanyak RM800 ribu diperuntukkan bagi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 dengan kerjasama Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) yang akan dilancarkan pada tahun depan untuk merancakkan industri halal Johor khususnya di kawasan JS-SEZ juga.
Inisiatif seterusnya adalah rejuvenasi Badan Berkanun Negeri (BBN) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Johor. Inisiatif ini bagi memastikan tiada pertindihan fungsi di samping membangunkan kerjasama strategik dan sinergi dalam memastikan agensi-agensi berkenaan terus kekal berdaya saing dan menepati objektif penubuhan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif keempat puluh tiga adalah meningkatkan terimaan hasil negeri. Kepesatan pembangunan ekonomi Johor, ekonomi negeri Johor juga seharusnya diterjemahkan kepada peningkatan terimaan hasil kerajaan negeri. Penambahan hasil akan membolehkan lebih banyak program dilaksanakan dan lebih banyak bantuan kepada bangsa Johor disalurkan. Justeru, kajian serta usaha pertambahan hasil negeri akan dilaksanakan. Antaranya termasuklah semakan semula Jadual 6, Kaedah-Kaedah Tanah Johor 1966; keduanya memperkasa penguatkuasaan atas pencerobohan tanah kerajaan dan pelanggaran syarat tanah; ketiga pengenaan Caj Penggunaan Tanah Kerajaan bagi tujuan laluan utiliti. Pengenalan Fi Kembara bagi penghuni bilik-bilik hotel dan pemerkasaan GLC dan penepatan dividen tahunan daripada GLC Negeri Johor dengan kadar minimum 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya ke teras kedua, saya mohon minum seteguk air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, teras kedua adalah Pembangunan Ekonomi.
Negeri Johor Teguh Berdiri, Merah Dan Biru Kibaran Bendera; Kemajuan Ekonomi Wawasan Negeri, Nadi Kemajuan Rakyat Sejahtera.
Dalam landskap global yang kian pantas berubah, Johor mesti terus mempertingkatkan daya saing ekonomi, memperkasa sektor strategik seterusnya memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif. Hari ini kita berikrar untuk melakar masa depan yang lebih cerah dengan dasar-dasar yang lebih progresif, pelaburan-pelaburan yang berimpak tinggi serta inovasi yang didukung oleh bakat-bakat tempatan.
Insya-Allah, Johor akan menjadi medan kepada pelbagai limpahan peluang, sebuah negeri yang bukan sahaja mampu bersaing tetapi juga gah sebagai gerbang ekonomi serantau. Justeru bagi tujuan memperkasa sektor ekonomi, kerajaan negeri akan melaksanakan 52 inisiaitif menerusi kerjasama pelbagai agensi.
Inisiatif pertama adalah memanfaatkan Zon Ekonomi Khas (JS-SEZ) dan juga Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ). Melalui Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana pemudah cara bagi penyediaan infrastruktur di kawasan JS-SEZ dan tambahan negeri itu RM180 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Inisiatif kedua, sebanyak RM2.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Misi Galakan Pelaburan Dan Memperkukuhkan Hubungan Jaringan Pelaburan. RM300 ribu diperuntukkan bagi Mempromosi Johor Sebagai Destinasi Utama Pelaburan dengan memperkenalkan Invest Johor Transformation Initiative.
Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15
Inisiatif keempat, Penganjuran Nikkei Forum Asia 2025 dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri, IIB dan Nikkei Incorporated, sebuah organisasi media terkemuka dari Jepun. Forum ini akan menghimpunkan kira-kira 500 pemimpin industri pakar teknologi dan pelabur antarabangsa untuk membincangkan isu-isu kritikal berkaitan ekonomi digital, inovasi teknologi dan pembangunan mampan di Asia.
Inisiatif kelima, Memperkasa Ekosistem Startup. Inisiatif ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekosistem yang kondusif bagi syarikat startup dengan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk akses kepada ruang kerja bersama, program bimbingan usahawan serta meneroka kerjasama strategik dengan pelabur institusi kewangan dan universiti.
Keenam sejumlah RM100 ribu diperuntukkan bagi melaksanakan program Kolabarasi Bersepadu Bersama Pihak Industri Dan Pembuat Dasar untuk memperkukuh dasar serta strategi pelaburan negeri. RM20 juta diperuntukkan bagi penyediaan latihan peningkatan kemahiran dan produktiviti. Ini adalah hasil kerjasama JTDC dengan HRD Corp. RM3 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Bakat Pro-Mahir Johor. Program ini menyediakan latihan kemahiran jangka masa pendek dalam sektor berkemahiran tinggi dengan jaminan pekerjaan selepas tamat kursus. RM1 juta pula diperuntukkan bagi Gerak Kerjaya Johor dan Ekspo TVET 2025.
Yang Berrhormat Datuk Speaker, dalam ucapan Belanjawan Johor 2024, saya telah mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor dengan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke negeri ini. Pada kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia kerana peruntukkan RM20.4 juta yang disalurkan kepada negeri Johor bagi projek baharu menaik taraf produk pelancongan di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian dan Pembangunan Semula Pantai Air Papan, Mersing.
Kerajaan Negeri juga bersama PBT, Tourism Johor, Perbadanan Taman Negara Johor dan lain-lain agensi berkaitan akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan produk-produk pelancongan yang berkualiti tinggi disamping menganjurkan pelbagai acara berprestij bagi memperkukuh daya tarikan Johor sebagai destinasi utama pilihan pelancong.
Inisiatif kesepuluh, Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bagi Pembukaan Taman Botani DiRaja, Istana Besar dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan sebanyak RM6.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf sebelum ianya dibuka kepada umum pada tahun hadapan.
Inisiatif kesebelas, RM5 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Zoo Johor Bagi Fasa Kedua, RM7 juta diperuntukkan bagi Kerja-Kerja Restorasi Muzium Tokoh. RM10 juta pula diperuntukkan bagi Pembangunan Pusat Rekreasi Sungai Lebam, Kota Tinggi. RM6.95 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan Taman-Taman Negara di Johor, meliputi Taman Negara Gunung Ledang, Endau – Rompin, Tanjung Piai dan Pulau Kukup.
RM300 ribu diperuntukkan bagi Menaik Taraf Kemudahan Pelancongan Pantai Seri Menanti Muar. RM200 ribu diperuntukkan bagi Membina Dataran Terbuka Di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar. RM200 ribu diperuntukkan bagi Menaik Taraf Taman Botani Seri Medan, Batu Pahat, RM300 ribu pula diperuntukkan bagi Menaik Taraf Tapak Perkhemahan Pantai Minyak Beku, Batu Pahat. RM2.2 juta bagi Menaik Taraf Taman Eko Rimba antaranya di Taka Melor-Segamat, Teluk Arong-Mersing dan Gunung Pulai-Kulai.
RM5.5 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Kawasan Sarang Buaya, Pasir Gudang. RM1.5 juta bagi Membina Perkampungan Seramik, Pasir Gudang. RM800 ribu Menaik Taraf Dan Membina Mercu Tanda di dalam kawasan pentadbiran daerah Pontian. RM300 ribu bagi Menaik Taraf Mempromosi Kampung Stay Teluk Buih, Mersing. RM300 ribu bagi Membina MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Baru Pusat Rekreasi di Sungai Triang Besar, Mersing. RM200 ribu bagi menaik taraf pintu gerbang Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai. RM200 ribu bagi Menaik Taraf Muzim Layang-Layang Pasir Gudang.
RM3.7 juta disediakan bagi Penganjuran Acara-Acara Pelancongan Bertaraf Antarabangsa. Antaranya termasuk Asean Tourism Forum di Johor bersempena dengan Kepengerusian Asean-Malaysia 2025, penganjuran Wonderful Nusantara Festival, Desaru International Bike Week dan Johor International World Chefs Championship. RM7.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai Promosi Dan Publisiti Tahun Melawat Johor 2026. Ini termasuklah Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor yang akan diadakan pada pertengahan tahun depan dan kick-off Tahun Melawat Johor yang akan diadakan pada ambang tahun 2026.
Inisiatif kedua puluh sembilan, RM1 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Kemudahan Di Sekolah Hospitaliti Dan Pelancongan Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ). RM300 ribu diperuntukkan bagi Latihan Sumber Manusia Sektor Pelancongan termasuk Nature Guide khususnya Nature Guide Taman Negara.
RM150 ribu diperuntukkan untuk Pembangunan International Network for Sustainable Tourism Observatories (INSTO) yang merupakan insiatif pelancongan global bagi menyokong pembangunan pelancongan mampan dengan memantau kesan ekonomi alam sekitar dan impak sosial terhadap destinasi setempat. Ini adalah program rentis antara Majlis Daerah Mersing dan UNDP. RM812 ribu diperuntukkan untuk Merakyatkan Seni Budaya Johor yang akan dilaksanakan menerusi Yayasan Warisan Johor. Melalui inisiatif ini Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan mula dibuka pada hujung minggu bermula tahun depan, bagi membolehkan Bangsa Johor dan pelancong yang datang menikmati persembahan kebudayaan Johor.
Inisiatif seterusnya RM1 juta diperuntukkan bagi Festival Zapin Rakyat Johor. Inisiatif ini bertujuan untuk mengekal dan mengembangkan seni tarian zapin kepada segenap lapisan bangsa Johor melalui penglibatan kumpulan sasar bermula daripada pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, serta golongan belia dan golongan dewasa.
Inisiatif ketiga puluh empat adalah Insentif Khas Duti Hiburan Bagi Taman Tema. Bagi menggalakkan pelaburan Taman Tema di negeri Johor di samping menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, Kerajaan Negeri sukacita mengumumkan bahawa kita bersetuju untuk menetapkan kadar duti hiburan untuk semua taman tema kepada 5 peratus secara kekal mulai 1 Januari 2025. (Dewan bertepuk). Perbandinganya ialah pada masa ini 25 peratus Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif ketiga puluh lima adalah tentang sektor pertanian di mana RM2 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Industri Sawah Padi di Negeri Johor merangkumi kerja-kerja perluasan kawasan baharu sawah padi di Kahang seluas 10 hektar dan Sungai Balang sebanyak 27 hektar. Inisiatif ketiga puluh enam, RM12.3 juta diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Industri Sayuran yang meliputi Perjanjian Strategik di antara FarmByte Sdn. Bhd., merupakan anak syarikat JCorp Kerajaan Negeri dengan AgroBank yang berjumlah RM11.9 juta.
RM38 juta juga diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Pertanian Lestari yang merupakan projek usaha sama FarmByte dan Archisen Pte. Ltd. Singapore di Iskandar Puteri.
Inisiatif ketiga puluh lapan, RM800 ribu diperuntukkan untuk Projek Pembangunan Industri Buah-Buahan. Sebanyak RM600 ribu diperuntukkan bagi Pembangunan dan Memperkasa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pertanian. RM1.05 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Memperkasa Pertanian Moden Dan Pintar. RM500 ribu bagi Pembangunan dan Perluasan Industri Latihan Air Hitam di Negeri Johor. RM200 ribu diperuntukkan bagi Projek Pembangunan Tanaman Kontan. RM200 ribu diperuntukkan bagi MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Projek Pembangunan Industri Kelapa. RM2.58 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Industri Ternakan untuk mengurangkan kebergantungan pengunaan daging import dan menambah pengeluaran tempatan termasuk meningkatkan pengeluaran tenusu.
Inisiatif keempat puluh lima, sebanyak RM1.65 juta diperuntukkan bagi Pemeliharaan Sumber Perikanan dan Pembangunan Industri Akuakultur. Inisiatif ini mensasarkan peningkatan 10 peratus unjuran hasil pengeluaran akuakultur daripada 29,000 Metrik Tan bagi tahun ini kepada 32,000 Metrik Tan bagi tahun hadapan.
Inisiatif keempat puluh enam, sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi Pemerkasaan Industri Asas Tani dan Keusahawanan Tani.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif keempat puluh tujuh pula adalah tentang keusahawanan. Di mana sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan bagi meneruskan Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil, sederhana (PKS) dan Mikro. Sejumlah RM3 juta diperuntukkan bagi Insentif Khemah Usahawan Mikro. RM2.5 juta diperuntukkan bagi Insentif Usahawan Maju Johor. RM1.8 juta diperuntukkan untuk Program Pengembangan Projek Usahawan. RM1 juta diperuntukkan bagi mengadakan Program Didik Usahawan Bangsa Johor dan RM500 ribu diperuntukkan bagi program Mentor-Mentee Youth Entrepreneurship.
Yang Berhormat Datuk Speaker, itu Teras kedua. Saya yakin telinga Datuk Speaker dahaga mendengar ucapan saya. Jadi, saya mohon untuk break 1 minit.
Silakan Yang Amat Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita beralih pula ke Teras Ketiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial. Maju Johor Negeri Gemilang, Kebajikan Rakyat Jadi Juara, Jaringan Sosial Sentiasa Dijulang, Rakyat Terbela Hidup Sejahtera. Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada 9 Mei tahun ini dalam Pembukaan Rasmi Persidangan Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 untuk memastikan agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025 telah di titahkan. Sukacita patik memaklumkan bahawa kesemua 4,378 ketua isi rumah miskin tegar berdasarkan data Mac 2023 telah berjaya di sifarkan pada Julai tahun ini (Dewan bertepuk). Patik dan seluruh Bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dan seluruh keluarga DiRaja Johor atas keprihatinan terhadap Bangsa Johor yang berada di dalam keadaan kesusahan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha membantu mensifarkan miskin tegar di Johor. Ini termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, MAIJ, maaf, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MAIJ, Pegawai-Pegawai Daerah, ADUN-ADUN, Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua masyarakat. Namun demikian, usaha ini adalah usaha yang berterusan. Terdapat 235 permohonan baharu yang direkodkan antara Ogos sehingga Oktober tahun ini. Kerajaan negeri komited untuk mensifarkan angka ini juga melalui pendekatan holistik, inklusif dan berfokus kepada peningkatan taraf hidup Bangsa Johor. Kerajaan negeri juga percaya bahawa tiada rakyat harus tercicir dari arus pembangunan. Melalui Teras Jaringan Keselamatan Sosial, kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap individu terutama golongan rentan memiliki perlindungan yang kukuh akses kepada keperluan asas dan peluang untuk meningkatkan kualiti hidup. Oleh itu, sebanyak 52 Inisiatif akan dilaksanakan bagi mensejahterakan kehidupan rakyat seperti inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama, Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Am. Kerajaan Negeri sekali lagi menyambut baik pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia untuk menaikkan kadar bantuan warga emas kepada RM600.00 sebulan berbanding kadar RM500.00 dan bantuan kanak-kanak dengan kenaikan kepada RM200.00 hingga RM250.00 MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
sebulan mengikut peringkat umur. Justeru, sebanyak RM292.44 juta telah diperuntukkan kepada negeri Johor oleh Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira kenaikan kadar bantuan ini. Bagi menyahut saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tambahan RM29.35 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM321.79 juta dan akan memberi manfaat kepada 232,503 penerima.
Inisiatif kedua, sebanyak RM2.9 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Dapur Kasih Keluarga Angkat yang akan memanfaat 2,416 ketua isi rumah. RM6.6 juta diperuntukkan untuk Jualan Kasih Johor. Inisiatif ini akan dilaksanakan di 300 lokasi yang melibatkan 56 DUN dengan mensasarkan 1 juta penerima manfaat. Ini adalah peningkatan sebanyak RM1.6 juta berbanding tahun 2024. RM1.8 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Anak Angkat Makmur Johor bagi terus membela nasib 1,200 orang kanak-kanak dan remaja yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Johor juga akan terus melaksanakan Program Kebajikan Ummah sebagaimana berikut:
RM78 juta diperuntukkan bagi Bantuan Sara Hidup kepada 18,000 asnaf. RM18 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Hari Raya kepada 88,000 penerima asnaf. RM3.6 juta diperuntukkan bagi Belanja Dapur Asnaf kepada 12,000 orang keluarga. RM1 juta diperuntukkan bagi Bantuan Sewa Rumah kepada 104 penyewa asnaf dengan kadar sewaan maksimum RM800.00 sebulan. RM1 juta bagi Skim Perlindungan Takaful dan Khairat untuk 26,000 penerima. RM68 juta diperuntukkan bagi Bantuan Dialisis dan Tapak Fistula. RM18.8 juta bagi Bantuan Perubatan Bulanan kepada 3,000 orang asnaf. RM4 juta bagi peruntukan Bantuan Perubatan One-Off. RM1 juta bagi Bantuan Rawatan Jantung di IJN. RM1.5 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih 27 buah TABIKA KEMAS di kawasan Kampung Tradisi dan Kampung Orang Asli di seluruh negeri Johor. RM400 ribu diperuntukkan bagi pembangunan Jauhar Child Care Centre (JCCC) di PPR Stulang, Johor. RM230 ribu bagi Program Star Rating TASKA untuk memastikan piawaian TASKA di seluruh negeri Johor berkualiti tinggi, bersih dan selamat untuk kanak-kanak.
Inisiatif ketujuh belas, RM150 ribu diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk meneruskan Program Child Support Team. Inisiatif ini bertujuan untuk memberi latihan kepada individu, sukarelawan, komuniti dan pemimpin tempatan bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan komitmen dalam melindungi hak kanak-kanak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif yang kelapan belas. Sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy untuk meningkatkan fasiliti membeli peralatan khas, pengurusan serta mempertingkatkan kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar-pelajar istimewa ini. RM300 ribu pula diperuntukkan bagi Program Mobiliti Kasih OKU. Inisiatif ini akan memanfaatkan 280 OKU untuk menjalani saringan kesihatan supaya mereka seterusnya boleh mendapatkan lesen motor secara percuma. RM300 ribu diperuntukkan bagi Program Pemulihan Kemahiran Pelatih OKU kepada 200 OKU untuk penguatkuasaan fizikal, kemahiran, pertuturan dan kemahiran hidup di Pusat Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK). RM110 ribu diperuntukkan bagi Program Disability Equality Training (DET) dan Kursus Asas Job Coach. Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama majikan bagi membantu OKU memasuki pasaran pekerjaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif kedua puluh dua, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi Pemerkasaan Sokongan Ekonomi Wanita bagi bantuan peralatan perniagaan dan Program Pengukuhan Kemahiran Keusahawanan kepada 1,700 usahawan wanita. RM1 juta diperuntukkan bagi Program Menyantuni Wanita, Keluarga Dan Masyarakat diperingkat daerah dan DUN. RM300 ribu diperuntukkan bagi meneruskan Program Women Cancer Reproductive Awareness. RM1.9 juta diperuntukkan bagi menaik taraf membaik pulih premis 29 pusat pemulihan dalam komuniti dan 9 aktiviti warga emas MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
(PAWE) dan RPKK di seluruh negeri Johor. RM350 ribu diperuntukkan bagi penubuhan Skuad Mind-X@Komuniti untuk memberikan khidmat bantuan sokongan sosial dan moral secara fizikal dan dalam talian khususnya bagi keluarga dalam senarai e-Kasih. RM4 juta diperuntukkan bagi Inisiatif kedua puluh tujuh, Jelajah Desa Johor. Melibatkan 800 perkampungan tradisi, Kampung Orang Asli dan rancangan FELDA. RM300 ribu diperuntukkan bagi Program Kemasyarakatan di 60 buah kampung Orang Asli Johor. RM600 ribu diperuntukkan bagi Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga (KRT), RM400 ribu diperuntukkan bagi Program Sinergi Anak Johor bagi memperkasa perpaduan komuniti dalam kalangan Bangsa Johor.
Inisiatif Ketiga Puluh Satu, sejumlah RM12 juta diperuntukkan bagi menyantuni Masyarakat Tionghoa dan India melalui Yayasan Sultanah Fatimah, Yayasan Sultanah Rogayah dan NGO-NGO lain untuk memperluas jaringan bantuan kebajikan kepada golongan rentan dan memperkukuhkan kesejahteraan sosial. Ini termasuklah peruntukan sebanyak RM3 juta bagi bantuan persekolahan yang akan memanfaatkan 6,000 pelajar Tionghoa dan India yang kurang berkemampuan dan RM1 juta kepada Kolej Universiti Selatan yang akan memanfaatkan 500 pelajar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri juga sering mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai Agenda Perumahan Mampu Milik Johor. Isu ini turut menjadi topik hangat dalam kalangan Orang Muda Johor. Malah, Kerajaan Negeri sering mendapat tohmahan kononnya “Johor tidak ada rumah mampu milik, yang ada hanya rumah mampu lihat.” “Rumah di Johor hanya untuk golongan kayangan.” Sekali lagi, Kerajaan Negeri menerima semua pandangan ini dengan hati yang terbuka. Namun suka saya kongsikan, Kerajaan Negeri terus mensasarkan untuk 30,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang tahun 2026. Daripada angka tersebut, sebanyak 13,461 unit Rumah Mampu Milik Johor telah siap dibina. (Dewan bertepuk). Dari tahun 2022 sehingga kini dan pada hari ini bagi memperhebatkan lagi Agenda Perumahan, inisiatif-inisiatif tersebut akan dilaksanakan.
Inisiatif ketiga puluh dua, sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor disasarkan dibina pada tahun hadapan di semua daerah melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan juga pemaju-pemaju swasta.
Inisiatif ketiga puluh tiga, sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi pembangunan Rumah Residensi Bangsa Johor meliputi 430 unit di Jalan Ibrahim, Pontian dan 257 unit di Sri Menanti Muar dengan kerjasama kerajaan negeri bersama PIJH. (Dewan bertepuk). Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) akan juga terus meningkatkan kualiti kehidupan komuniti PPR dan flat awam melalui inisiatif berikut: RM41.6 juta diperuntukkan bagi Penyelenggaraan Fasiliti Perumahan melibatkan lebih 14,000 unit di 12 PPR dan 7 RSK; RM14 juta diperuntukkan Bagi Pengurusan Ejen Fasiliti untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyelenggaraan; RM10 juta diperuntukkan bagi Rejuvenasi Flat Awam Negeri Johor di Rumah Pangsa Bandar Penggaram Batu Pahat serta Pangsapuri EDL dan Pangsapuri Saujana di Johor Bahru; RM6.65 juta diperuntukkan bagi Rumah Transit Bangsa Johor melibatkan 60 unit di Taman Penawar Kota Tinggi dan 71 unit di Taman Nusa Sentral Johor Bahru; RM36.15 juta diperuntukkan bagi pembangunan Rumah Kasih Johor dengan penyediaan 328 unit rumah baharu oleh PKPJ, MAIJ, Wakaf An-Nur dan KKDW; RM2.24 juta diperuntukkan bagi program Rumah Prihatin Johor, sebanyak 112 unit RPJ akan dibina dengan kos RM75 ribu hingga RM95 ribu seunit. Bagi menyempurnakan inisiatif ini, PKPJ akan menampung kos tambahan penyediaan infrastruktur sebanyak RM20 ribu seunit. Dalam masa yang sama, SPNB juga akan memberikan subsidi RM20 ribu seunit, ini menjadikan harga jualan RPJ hanyalah RM55 ribu seunit.
Inisiatif seterusnya, sebanyak RM14.15 juta diperuntukkan bagi Program Baik Pulih Rumah yang akan memanfaatkan 795 keluarga miskin dan miskin tegar. RM2 juta diperuntukkan MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
bagi Penganjuran Ekspo Hartanah Johor (JPEX). RM600 ribu diperuntukkan bagi Program PKPJ Property Roadshow 2025. Program ini akan membantu rakyat mendapatkan informasi pendaftaran terbuka akaun e-rumah, tawaran terus pembelian hartanah dan consultation pemaju.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun fasiliti kesihatan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, kerajaan negeri mengambil pendekatan ‘Whole-of-Government Approach’ bagi menyelesaikan setiap isu yang melibatkan kesejahteraan dan kesihatan Bangsa Johor. Sebagai kerajaan yang sentiasa berusaha memahami kesukaran dan denyut nadi rakyat, kita tidak akan membiarkan fasiliti kesihatan yang uzur, sesak dan tidak mencukupi menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapat rawatan yang mereka perlukan. Atas sebab itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus melipat gandakan usaha untuk menaik taraf infrastruktur kesihatan negeri Johor ini.
Justeru, untuk inisiatif keempat puluh tiga, RM1.2 juta diperuntukkan bagi Bantuan Menaik Taraf Fasiliti Di Kesemua 12 Wad Kecemasan Hospital Kerajaan di seluruh negeri Johor. RM4 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Fasiliti Di Klinik Kesihatan. Inisiatif ini akan melibatkan Klinik Kesihatan Gelang Patah, Majidee, Tebrau dan juga Klinik Kesihatan Kulai. RM1 juta pula diperuntukkan bagi meneruskan Klinik Kesihatan Bergerak dengan kerjasama Yayasan Noah. RM1 juta diperuntukkan bagi Bantuan Penghantaran Ubat Secara Pos. RM1 juta diperuntukkan bagi Bantuan Aset Perubatan kepada Jabatan Oftalmologi di Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultan Nora Ismail dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah serta Jabatan Urologi di Hospital Sultanah Aminah. RM360 ribu diperuntukkan bagi pemasangan Automated External Defibrillator (AED) di 40 kawasan tumpuan awam bagi bantuan awal pertolongan cemas kepada mereka yang mendapat serangan jantung. Dalam Dewan ini ada standby tak AED?
Inisiatif keempat puluh sembilan, RM2 juta diperuntukkan bagi 4 Buah Ambulans yang akan ditempatkan di daerah Tangkak, Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi. RM200 ribu diperuntukkan bagi Program Johor Bebas Denggi 2.0 bagi memerangi kes denggi dengan kerjasama PBT. RM240 ribu diperuntukkan bagi Program Penghijauan 17 Kawasan Berisiko Tinggi Penagihan Dadah. RM2 juta diperuntukkan bagi Tabung Bencana Negeri untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pengurusan bencana alam seperti banjir, ribut dan tanah runtuh. Yang Berhormat Speaker, itu Teras Ketiga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Keempat ialah, kemudahan dan keperluan asas. ‘Kain Tenun Kain Sutera, Identiti Johor Jadi Penyeri, Keperluan Asas Rakyat Sejahtera, Teguhkan Aspirasi Membangun Negara’. Kerajaan Negeri Johor komited untuk memastikan kemudahan dan keperluan asas yang berkualiti tinggi dapat dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor. Teras ini memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang mampan, bekalan air dan elektrik yang mencukupi, jalan raya yang baik dan perkhidmatan asas lain yang memenuhi keperluan rakyat. Ini adalah asas kepada pembangunan yang inklusif, memastikan setiap rakyat tanpa mengira lokasi dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera. Justeru, sebanyak 33 inisiatif akan dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan dan keperluan asas di seluruh negeri Johor. Inisiatif pertama, RM635 juta melalui peruntukan MARRIS disediakan bagi Penyelenggaraan Jalan Utama di Johor merangkumi jalan negeri, jalan PBT, jalan kampung serta jalan pertanian sepanjang 23,600 kilometer. RM84.5 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Jalan-Jalan Penghubung ke Ladang Air Manis Sedenak Kulai oleh Kementerian Kerja Raya. RM72 juta diperuntukkan bagi Pembinaan Jalan Dari Jalan Tenggaroh 7 Ke Jalan Johor Bahru Kuantan-Mersing oleh Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW). RM50 juta diperuntukkan bagi Projek Membina, Menaik Taraf Dan Melebar Jalan-Jalan Kampung. RM9.8 juta diperuntukkan bagi Pelebaran Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan. RM9.7 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Jambatan Sempit Dan Uzur di Jalan Simpang Renggam Kluang. RM4.5 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Jambatan Sedia Ada Kepada Jambatan Arch Bridge System di Kampung Shaari Simpang. RM1.5 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Persimpangan dan MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Pemasangan Lampu Jalan di daerah Segamat, Tangkak dan Muar. RM4.5 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Infrastruktur Pencahayaan Jalan Raya di kawasan persimpangan yang berisiko tinggi melibatkan pemasangan lampu jalan, lampu amber dan lampu isyarat. RM10.3 juta diperuntukkan bagi Pemasangan Lampu Jalan Pintar dengan kerjasama MBJB dan MBIP.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Inisiatif Kesebelas. RM28.5 juta diperuntukkan dengan kerjasama PBT bagi Perkhidmatan Bas Muafakat Johor. RM2.5 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Terminal Larkin Sentral, RM885 ribu diperuntukkan bagi Perkhidmatan Shuttle Bus Percuma ke HSA, HSI, Zoo Johor, Bangunan Sultan Ibrahim, Taman Botani DiRaja dan Stadium Sultan Ibrahim. RM472 ribu diperuntukkan bagi meningkatkan keluasan capaian Internet di Kota Iskandar kepada orang awam dan meneruskan pelaksanaan WIFI Premium Maju Johor. RM600 ribu diperuntukkan bagi Projek Pembinaan Kekal Kolam Penenang atau Stilling Basin di Empangan Kahang, Kluang. RM500 ribu diperuntukkan bagi Projek Pembaikan Cerun Berhampiran Kolam Penenang Empangan Juaseh, Segamat. RM400 ribu diperuntukkan bagi Menambahbaik Pengurusan Kawasan Tadahan Air Bagi Menjamin Kelestarian Sumber Air melalui penyediaan Pelan Pengurusan Tadahan untuk Empangan Seluyut, Kota Tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ranhill SAJ selaku operator bekalan air di seluruh Negeri Johor akan terus memainkan peranan bagi memastikan kualiti air yang sentiasa di tahap yang terbaik. Justeru, Inisiatif kelapan belas, sebanyak RM270 juta diperuntukkan bagi Pembinaan Loji Rawatan Air Semanggar berkapasiti 50 juta liter sehari dan Sungai Layang 2 Fasa 2 berkapasiti 160 juta liter sehari. Insiatif kesembilan belas, sebanyak RM10.9 juta diperuntukkan bagi Pemasangan Paip dari Tangki Parit Markom, Pontian ke Rengit, Batu Pahat yang akan memanfaatkan penduduk di Parit Bagan Darat, Parit Seri Merlong, Kampung Parit Tengah dan sekitarnya. Sebanyak RM6 juta pula diperuntukkan bagi Projek Penggantian Paip Air Mentah di Loji Rawatan Air Gersik, Tangkak untuk menjamin bekalan air terawat kepada 4,673 akaun. RM3.8 juta pula diperuntukkan bagi Pembinaan Sistem Pengepaman Online untuk meningkatkan tekanan air di sekitar Bukit Perah, Parit Jawa dan Parit Bakar, Muar yang memanfaatkan 12,096 akaun.
Inisiatif kedua puluh dua RM171.5 juta diperuntukkan bagi Penambahan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) di Kluang, Pekan Nanas, Iskandar Puteri, Sierra Perdana dan juga Johor Jaya; RM83.4 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Sistem Voltan Tinggi (MSVT) di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Taman Seri Temenggong, Muar, FELDA Maokil, Segamat, Kampung Gajah Mati, Mersing dan Majidee, Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai langkah untuk menunaikan janji-janji manifesto kerajaan, Inisiatif kedua puluh empat, sebanyak RM18 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan FELDA bagi Pembangunan Infrastruktur Asas Lot Kediaman Generasi FELDA Kedua di lima kawasan meliputi FELDA Bukit Serampang, FELDA Ayer Hitam, FELDA Kemelah, Sungai Mas dan juga Bukit Easter. RM500 ribu diperuntukkan bagi Projek Menambahbaik Dan Membaikpulih di Dewan Muafakat Ayer Hitam, Batu Pahat, ni kawasan Timbalan Speaker. RM500 ribu pula diperuntukkan bagi Projek Menaiktaraf Dataran Niaga di Jalan Tun Dr. Ismail, Mersing. RM1 juta diperuntukkan untuk Kerja-Kerja Naiktaraf Fasa 2 Kawasan Rehat dan Rawat Simpang Tenggaroh, Mersing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa ini terdapat 585 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ). Johor mempunyai bilangan sekolah agama yang tertinggi di negara ini. Namun demikian, kerajaan negeri menyedari bahawa masih terdapat keperluan tambahan sekolah-sekolah agama selaras dengan pertambahan bilangan murid yang tinggi. Justeru, kerajaan negeri bersama-sama MAINJ akan terus memperkasakan Agenda Pendidikan Agama Johor melalui Inisiatif kedua puluh lapan. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Sebanyak RM52 juta diperuntukkan bagi Projek Pembinaan Sekolah Agama melibatkan tiga sekolah baharu iaitu di Kempas, UTM Skudai dan Larkin, di samping dua bangunan tambahan di Taman Pulai Indah dan Taman Sri Saujana. Inisiatif kedua puluh sembilan, RM4.77 juta pula diperuntukkan bagi Projek-Projek Membaikpulih Sekolah-Sekolah Agama. RM150 juta diperuntukkan pula untuk Pembinaan Baharu Masjid Dan Surau dengan kerjasama pelbagai pihak melibatkan 13 buah masjid dan lima buah surau baharu yang sedang dan akan dibina. Inisiatif ketiga puluh satu, RM3 juta diperuntukkan bagi Projek-Projek Menaiktaraf Masjid-Masjid Kerajaan. RM2.59 juta diperuntukkan bagi Projek Penyelenggaraan Dan Menaiktaraf Tapak Perkuburan Kerajaan. RM300,000.00 bagi Projek Pemasangan Siar Raya Di Masjid Daerah Segamat, Mersing Dan Kluang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Kelima dalam belanjawan ini ialah tentang keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Negeri hijau perkasa khazanah, warisan generasi buat penyeri; kelestarian alam jadi amanah, bersih dan selamat agenda negeri. Agenda Maju Johor membawa harapan untuk memastikan negeri ini kekal selamat, bersih dan mesra alam demi kesejahteraan semua. Keselamatan adalah asas untuk kita hidup dalam suasana harmoni. Kebersihan pula mencerminkan maruah dan disiplin rakyat manakala kelestarian alam sekitar memastikan anak cucu kita mewarisi Johor yang indah dan subur. Dengan inisiatif sedia ada dan langkah baharu yang kita bakal perkenalkan, kita akan bersama-sama membina sebuah negeri yang tidak hanya maju tetapi juga seimbang antara pembangunan dan alam semulajadi.
Demi memanfaatkan generasi kini dan masa depan, untuk itu Kerajaan Negeri akan melaksanakan 23 Inisiatif untuk memastikan keadaan alam sekitar di negeri ini sentiasa terjamin, terpelihara demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Inisiatif pertama, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan bagi pengoperasian dan pelaksanaan program berkaitan kelestarian dan perubahan iklim dengan kerjasama Johor Sustainable Center (JSC).
Inisiatif Kedua, RM1 juta diperuntukkan bagi Penganjuran Johor Smart City Forum Edisi Kedua. RM6.35 juta diperuntukkan bagi Pembangunan Pusat Kawalan Atau Command Centre. RM2 juta diperuntukkan bagi Pemasangan Dan Penyelenggaraan CCTV. RM2.85 juta diperuntukkan bagi Kerja-Kerja Pembinaan Dan Penyelenggaraan Sistem Lampu Jalan Pintar dan Smart Pole. RM107.4 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Sistem Perparitan, Longkang Serta Pembentungan. Inisiatif ini akan membantu mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan PBT-PBT. RM5.3 juta pula diperuntukkan bagi Rancangan Tebatan Banjir termasuk di Parit Besar, Batu Pahat dan Sungai Gelang Patah, Johor Bahru. RM3.03 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf 9 Pintu Air iaitu tiga di Batu Pahat, dua di Muar dan Pontian dan satu masing-masing di Tangkak dan Mersing. RM3.5 juta diperuntukkan bagi Menaiktaraf Lembangan Sungai antaranya di Sungai Tenang, Segamat, Sungai Merbudu, Muar dan Sungai Melantai, Kluang. RM1.62 juta diperuntukkan bagi Kawalan Hakisan Pantai termasuk di Pantai Seri Menanti, Muar dan juga Pantai Mersing. RM1.44 juta diperuntukkan bagi Kerja-Kerja Penggalian Muara Sungai antaranya di Sungai Kajang, Batu Pahat, Sungai Senduk, Tangkak, Sungai Ayer Baloi, Pontian dan Sungai Masai, Pasir Gudang. RM1.7 juta peruntukan bagi Menaiktaraf Saliran Pertanian termasuk di Mukim Kundang, Tangkak, Mukim Api-Api, Pontian dan Mukim Machap, Kluang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif ketiga belas, RM7 juta diperuntukkan bagi Transformasi Sungai Johor. Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk mengatasi isu pencemaran Sungai Skudai, Sungai Tebrau dan juga Sungai Kim-Kim melalui langkah holistik seperti penguatkuasaan undang-undang pencemaran, penggunaan teknologi moden serta program pemulihan ekosistem sungai. Kerjasama erat dengan komuniti, NGO dan sektor swasta akan diperkasa manakala kempen kesedaran awam dan pembangunan berasaskan kelestarian akan diteruskan. Inisiatif keempat belas, RM2 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kualiti sungai yang melibatkan kerja pembersihan Sungai Buluh dan MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang untuk meningkatkan kualiti sungai daripada kelas IV kepada kualiti kelas III.
Inisiatif seterusnya Memperkenalkan Insentif Khas Bangunan Hijau. Bagi menggalakkan pembinaan bangunan hijau, rebat sehingga 40 peratus bagi caj (ISF) akan diberikan kepada pemaju yang memperolehi penarafan lima bintang dalam program Comprehensive Assessment System for Built Environment Efficiency (CASBEE) khususnya di kawasan MBJB. Usaha sama antara MBJB, IRDA dan UTM ini secara tidak langsung akan dapat membantu mengurangkan jejak karbon negeri. RM700 ribu diperuntukkan bagi meneruskan Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon dengan kerjasama MBIP. RM300 ribu diperuntukkan bagi Pelan Tindakan Perubahan Iklim.
Inisiatif seterusnya, Polisi Pengangkutan Hijau Johor 2030 Dan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik Johor. Polisi ini akan menjadi panduan kepada gerak kerja bagi mencapai sasaran iaitu 1,245 EV Charging Base menjelang tahun 2030.
Inisiatif kesembilan belas, Pembangunan Pusat Pengecasan Kenderaan Elektrik Di Kota Iskandar. Kerajaan negeri melalui Permodalan Darul Ta’zim dengan kerjasama Gentari akan membangunkan pusat pengecasan EV yang akan dilengkapi dengan 4 charging point DC dan 4 charging point AC.
Inisiatif kedua puluh, sejumlah RM330 ribu diperuntukkan bagi Memperkaya Sumber Biodiversiti Penghijauan melalui program penanaman pokok di kawasan lapang atau terosot seluas 35 hektar yang melibatkan kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam Utara dan Kluang tambahan.
Inisiatif kedua puluh satu, sebanyak RM37 juta diperuntukkan bagi Pengindahan dan Penghijauan Johor melalui kerja-kerja landskap dan penanaman pokok.
Inisiatif kedua puluh dua, Pengindahan Dan Peningkatan Keselamatan Jalan Raya melalui kerja-kerja mengecat kerb jalan raya dengan kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor.
Inisiatif kedua puluh tiga, sejumlah RM400 ribu diperuntukkan bagi Menaik Taraf Hutan Simpan Panti.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon minum air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Ke-6 ialah Orang Muda Johor. Negeri Johor Negeri Tersohor, Lahirkan Pemimpin Bijak Bestari, Orang Muda Pelapis Johor, Teguhkan Tekad Bangunkan Negeri. Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang sentiasa menjadi pendorong semangat Orang Muda Johor untuk terus melangkah ke hadapan secara holistik dengan lebih cemerlang. Orang Muda Johor adalah tunjang kekuatan masa depan negeri ini. Dalam usaha menjadikan Agenda Maju Johor, kita perlu membuka ruang seluas-luasnya untuk golongan muda melakar kejayaan, sama ada dalam pendidikan, keusahawanan, sukan, mahupun inovasi. Kita percaya, dengan sokongan yang tepat, bakat dan impian, mereka mampu mencipta gelombang perubahan yang besar. Kita bertanggungjawab membina generasi muda Johor yang berwawasan, berdaya saing dan bakal menjadi pemimpin yang akan membawa negeri ini ke mercu kecemerlangan. Justeru, kerajaan negeri komited untuk membentuk sebuah ekosistem yang mendukung aspirasi Orang Muda melalui 49 inisiatif berikut:
Inisiatif pertama, RM6.22 juta diperuntukkan bagi Sekolah Rintis Johor. Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti, negeri Johor berhasrat melancarkan Sekolah Rintis Johor bermula Januari tahun 2025. Menerusi MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan, projek rintis ini adalah langkah permulaan untuk mencorakkan masa depan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing. Inisiatif ini melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah iaitu SMK Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang dan SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru dengan tumpuan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris. Di samping memastikan 100 peratus pelajar lepasan SPM di Johor melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Inisiatif kedua, sebanyak RM300 ribu diperuntukkan dengan kerjasama Yayasan JCORP dan Yayasan Temasek bagi Peningkatan STEM Sekolah Lestari. RM200 ribu diperuntukkan bagi Johor Student Leaders Council. RM400 ribu bagi Akademi Debat Johor 2.0. RM500 ribu bagi Johor GEMS 2.0 yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Johor bagi membantu pelajar menguasai teknik menjawab soalan SPM. RM200 ribu bagi Bilik Terapi Multisensori beserta peralatan lengkap untuk menyantuni pelajar pendidikan khas. RM100 ribu bagi Bantuan Kalkulator Saintifik kepada 1,400 pelajar. RM800 ribu diperuntukkan bagi Kemudahan Fasiliti Smart TV dan Smart Board kepada 274 buah sekolah agama. RM100 ribu diperuntukkan bagi Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM untuk 50 penerima sebagai galakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi yang dilaksanakan dengan Yayasan Raja Zarith Sofiah. RM1.3 juta diperuntukkan untuk Program OLA dan Johor Apprentice.
Inisiatif kesebelas, RM800 ribu diperuntukkan untuk Johor Youth Patriot. Program dengan kerjasama Askar Timbalan Setia atau JMF ini mensasarkan pembentukan jati diri, disiplin, ketahanan mental dan fizikal serta semangat patriotisme dalam kalangan belia Johor. RM800 ribu diperuntukkan bagi Johor International Youth Conference. RM400 ribu bagi Program Ayuh Johor bertujuan untuk menyebar luas pelbagai inisiatif Orang Muda Johor di IPTA dan IPTS. RM100 ribu bagi Program Duta Jauhar. RM100 ribu bagi Perkongsian dan Kemahiran Belia Negeri Johor.
RM6.4 juta diperuntukkan bagi Bantuan Awal Persekolahan yang diberikan bagi meringankan beban ibu bapa yang tidak berkemampuan. RM1.75 juta pula diperuntukkan bagi Biasiswa Orang Muda Johor bagi pelajar-pelajar cemerlang SPM untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti terbaik dunia. RM148 ribu bagi Biasiswa Sultan Ibrahim untuk melanjutkan pengajian di peringkat Masters dan PhD. RM150 ribu Biasiswa Tabung Sarjana PDT. RM2.56 juta diperuntukkan dengan kerjasama MAIJ bagi Dermasiswa Luar Negara. RM650 ribu untuk Biasiswa Kenangan Dato’ Onn yang memberi manfaat kepada 1,000 pelajar B40. RM18.3 juta bagi tujuan Bantuan Pinjaman Pelajaran Mahasiswa IPT. RM8 juta diperuntukkan bagi Pemberian Bantuan Pendaftaran sebanyak RM500.00 seorang kepada 16,000 mahasiswa. RM4 juta Bantuan Pendaftaran IPT kepada mahasiswa dari golongan asnaf.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi sebagai langkah menunaikan manifesto kerajaan, inisiatif kedua puluh lima, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi Bantuan Laptop Siswa Johor yang akan memanfaatkan 1,000 mahasiswa dari golongan B40. RM3 juta pula diperuntukkan bagi pemberian Insentif Mahasiswa Johor melalui Kad Siswa Johor dengan nilai RM200.00 berbanding RM50.00 tahun lepas. RM630 ribu diperuntukkan untuk Persatuan Mahasiswa Anak Johor di Institusi Pendidikan Tinggi. RM1.5 juta diperuntukkan bagi Program Bantuan Peralatan Kepada Pusat Pendidikan Dan Latihan untuk menyediakan bantuan geran kepada 4 pusat pendidikan dan latihan, iaitu Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Batu Pahat, JSkills, Politeknik Mersing dan ILP Pasir Gudang. RM14 juta diperuntukkan bagi Pusat Latihan Akademi ASWAJA untuk dijadikan Pusat Aktiviti Belia Islam. RM800 ribu pula diperuntukkan bagi Southern Volunteers Prihatin Rakyat Bangsa Johor. RM200 ribu diperuntukkan bagi program SV Go Green Dan Johor Bersih. RM500 ribu diperuntukkan bagi Sambutan Hari Belia. RM200 ribu bagi Tautan Kasih Belia Negeri Johor Dan Jelajah Identiti Bangsa Johor. RM300 ribu diperuntukkan bagi MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Karnival Media Digital Johor. RM2 juta diperuntukkan bagi Menaik Taraf Perpustakaan Awam di Pontian dan JB. RM150 ribu diperuntukkan bagi Bazar Buku untuk mewujudkan jaringan ekosistem budaya membaca dalam kalangan komuniti buku, Orang Muda Johor dan industri buku.
RM1.5 juta diperuntukkan bagi Sukan Bangsa Johor. RM1.5 juta bagi GYM Rakyat TMIYC Bangsa Johor. RM730 ribu diperuntukkan bagi Baik Pulih Gelanggang Sukan. Inisiatif ini bertujuan untuk menambah baik 24 kemudahan sukan yang lebih selamat dan berkualiti khususnya di kawasan luar bandar. RM500 ribu diperuntukkan bagi Pickle Spot Johor. Kita akan membina 8 buah gelanggang di mana 4 buah gelanggang di Pusat Kecemerlangan Sukan, Nusa Duta dan 4 buah gelanggang di Taman Daya.
RM500 ribu diperuntukkan bagi menaiktaraf Mini Stadium Taman Sri Lambak, Kahang; RM200 ribu bagi sukan permotoran Motorcross di Semarang, Ayer Hitam;. RM100 ribu bagi Karnival Ragbi Johor; RM5 juta diperuntukkan bagi pembangunan atlet SUKMA 2026; RM300 ribu diperuntukkan bagi latihan pusat atlet Para SUKMA negeri Johor; RM500 ribu diperuntukkan bagi penganjuran Johor e-Sport Tournment; RM300 ribu diperuntukkan bagi penganjuran Johor Run 2025; RM100 ribu pula diperuntukkan bagi penganjuran Program Maybank Cycling Series; RM250 ribu pula diperuntukkan bagi Johor Athlete Gold Olympic. Kepada atlet kelahiran Johor yang berpotensi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bagi persediaan untuk insya-allah mereka membawa pingat emas ke Malaysia. Antaranya, ialah saudara Shah Firdaus dan Ridwan Shahrom, 2 beradik yang cemerlang dalam sukan berbasikal trek. Turut serta ialah saudari Tan Ruoxin Shin, atlet renang yang berpotensi besar. Aniq Kasdan, jaguh angkat berat yang telah meraih beberapa kejayaan di peringkat Asia serta adik Shaqiera Mashayikh, bintang memanah yang sedang mencipta nama di peringkat antarabangsa. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya atlet-atlet ini berada di dalam Dewan ini. Saya minta mereka bangun dan sama-sama kita bagi tepukan yang gemuruh kepada mereka. (Dewan bertepuk). Boleh duduk, sebab saya pun nak tumpang duduk sekejap. Yang Berhormat Datuk Speaker, sekianlah pembentangan saya bagi Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan ‘Maju Johor Rakyat Sejahtera’. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dr. Haji Azmi bin Rohani, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Seluruh pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan, Pegawai-pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Berkanun serta GLC negeri Johor, atas sokongan dan kerjasama erat yang diberikan bagi menyediakan Belanjawan 2025 ini. Saya sedar dan insaf, bahawa banyak lagi inisiatif yang perlu kita laksanakan. Namun akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba. Adalah menjadi harapan saya agar belanjawan ini akan menerus dan meningkatkan usaha dan komitmen semua pihak, demi kemaslahatan seluruh Bangsa Johor. Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri, daripada pihak kerajaan dan juga pihak pengimbang, marilah kita sama-sama berganding bahu dan bersatu tenaga menjayakan pelbagai projek dan inisiatif yang telah saya sampaikan tadi. Inisiatif-inisiatif tersebut hanya akan dapat dirasai dengan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Suka untuk saya tegaskan supaya semua inisiatif yang telah diumumkan ini, diambil tindakan segera oleh setiap jabatan dan agensi berkaitan. (Dewan Bertepuk). Kertas-kertas kerja perlu diselesaikan pada bulan Disember ini. Proses perolehan perlu dilaksanakan pada bulan Januari dan kerja-kerja dimulakan pada bulan Februari dan Mac. Seterusnya disiapkan selewat-lewatnya pada bulan Oktober ataupun November. Semua inisiatif ini akan menjadi KPI pentadbiran saya bagi tahun 2025. Pejabat Setiausaha Kerajaan akan memantau rapi status pelaksanaan dan membentangkan kepada kami pada setiap bulan. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya sebutkan di awal ucapan, prestasi hasil Kerajaan Negeri, Alhamdulilah, telah mencatat satu rekod baru pada tahun ini. Dengan mencecah hasil sebanyak RM2.0 bilion, ini Tan Sri SS boleh confirmkan. Justeru, wajarlah ia dikembalikan semula untuk dirasai dan dinikmati bersama oleh Bangsa Johor yang kita semua kasihi, khususnya untuk mereka yang kurang berkemampuan. Justeru, peruntukan sebanyak RM16.8 juta akan disalurkan untuk Program Bakul Makanan yang akan dilaksanakan di setiap DUN bagi golongan B40. Sebanyak 5,000 bakul makanan, berjumlah RM300 ribu untuk semua 56 DUN akan diagihkan secara berfasa bermula awal Disember ini. (Dewan bertepuk). Tidak cukup dengan itu, demi kesejahteraan Bangsa Johor yang terlibat dalam bencana banjir sejumlah RM11.946 juta juga diperuntukkan bagi permohonan rayuan. Ni Dato’ Jun boleh dengar. Bagi rayuan Bantuan Banjir Monsun Timur Laut Tahun 2022, 2023 Di Daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi, sebanyak RM1,500.00 diperuntukkan bagi setiap Ketua Isi Rumah yang memanfaatkan 7,964 Ketua Isi Rumah. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun Bantuan Ihsan Mangsa Johor pada masa akan datang akan diselaraskan berdasarkan ketetapan dan peruntukan yang diterima daripada kerajaan persekutuan melalui NADMA. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk DUN sebanyak RM11.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk disalurkan kepada 56 DUN bagi melaksanakan program dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Setiap DUN akan diperuntukkan sebanyak RM200 ribu. (Dewan Bertepuk). Seterusnya sebagai tanda penghargaan di atas dedikasi dan komitmen penjawat awam negeri, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian Insentif Khas Kecemerlangan Tahun 2024 sebanyak, takut tersasul, sebanyak 2 bulan gaji. (Dewan bertepuk). Kepada kakitangan Kerajaan Negeri Johor dan Kakitangan Awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh Kerajaan Negeri Johor. Semoga insentif ini menjadi motivasi untuk meningkatkan kecemerlangan dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon juga membawa rundingan supaya Peraturan Tetap 112 (2) dan (4) ditangguhkan sementara agar pertimbangan Rang Undang-Undang pada peringkat-peringkat yang lain dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.
Tahniah Yang Amat Berhormat di atas pembentangan Bajet 2025 yang komprenhensif, konstruktif dan strategik. Ahli-Ahli Yang Berhormat, dengan izin, democracy is a slow process. Tetapi permodenan adalah satu proses yang pantas. Justeru kita sebagai The Law Maker, bertanggung jawab, responsif terhadapnya . Sebagai ADUN, we can’t afford to be the same, we can’t afford to be stagnant. Oleh itu, kita mesti menjadi the crusader of change. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Amat Menteri Besar Johor telah pun membentangkan Belanjawan 2025. Kita yakin ia akan menjadi sebahagian daripada game changer, the crusader of change untuk menjadi negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030. Marilah kita sama-sama mendokongnya. Tahniah juga kepada Yang Amat Berhormat kerana kali ini kita ada 2 big screen. Ini juga memudahkan orang ramai yang mengikuti Belanjawan Johor 2025 melalui live streaming di facebook rasmi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. MESYUARAT KETIGA BAGI PENGGAL PERSIDANGAN KETIGA DEWAN NEGERI JOHOR YANG KE-15
Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli Yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju Peraturan Tetap 112(2) dan (4) ditangguhkan sementara. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran seramai 100 orang pemerhati yang diundang khas oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang terdiri daripada, Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan, Persatuan Doktor dan Jururawat, Persatuan Pemandu Pelancong Johor, Persatuan Hotel Johor Cawangan Johor, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan FELDA, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Negeri Johor, Malaysia International Chamber of Commerce and Industry, Gabungan Persatuan Tionghua, Gabungan NGO Masyarakat India, Tok Batin Orang Asli, Usahawan Tani Muda, Majlis Belia Negeri Johor, Guru Besar dan Pengetua Sekolah Rintis Bangsa Johor, Majlis Peguam Negeri Johor, Institut Dato’ Onn, Atlet Olimpik Negeri Johor, Ketua-Ketua UMNO Bahagian di negeri Johor termasuk Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Ketua Bahagian saya, Wanita UMNO Johor, Pemuda UMNO Johor, Puteri UMNO Johor, MCA Johor dan MIC Johor. Tahniah (Dewan bertepuk). Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, selesai sudah pembentangan Belanjawan 2025 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan tema ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga hari Ahad 24 November 2024, jam 9.30 pagi di mana perbahasan atas Rundingan Bagi Bacaan Kali Ke-Dua Enakmen Perbekalan 2025 tahun 2024 akan dimulakan. Persidangan ditangguhkan pada jam 12.05 tengahari. Persidangan akan disambung semula pada hari Ahad 24 November 2024 pada jam 9.30 pagi.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Zahiti binti Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 21 November 2024
VERBATIM