Johor · 25 November 2024
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · not final · 99 turns · 35,766 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Maju Johor dan salam sejahtera.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, satu lagi topik yang mahu saya kongsikan semasa menghadiri Persidangan CPA di Sydney, Australia ialah Benchmarking, Standards and Guidelines: Strengthening the Institution of Parliaments Through the Adoption of Best Practices.
Antara best practices atau amalan terbaik yang disebut ialah seorang Ahli Parlimen atau ADUN dapat menjalankan tugas sebagai pemudahcara yang berkesan untuk rakyat dan konstitusi yang diwakili. Masalahnya mereka sering tersekat kerana kerenah birokrasi seperti yang dibangkitkan oleh Kukup semalam. Sebab itu semalam saya menyentuh tentang JAKOA kerana ada agensi lain seperti JPS, JKR, TNB, JKM, MPBP dan SAJ. Mereka proaktif walaupun sering dikritik oleh rakyat dalam media sosial. Sebab itu dalam kes JAKOA ini saya buat keputusan untuk kutip dana RM30,000.00 untuk membina pondok buat Puan Marliana. Alhamdulillah, saya sudah pun berjaya mengumpulkan RM17,000.00 dan sekarang mencari ihsan untuk tapak pondok tersebut.
Justeru Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita sebagai wakil rakyat kita mesti menjadi a fighter until the last drop untuk mewakili rakyat dan kawasan yang kita diamanahkan. Walaupun barangkali kemungkinan tidak dicalonkan lagi dalam Pilihan Raya akan datang. Yang dicari ialah satisfaction of job. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Soalan Pemanis nombor 1.
Bagaimana Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) berfungsi dan apakah solusi terbaik bagi memastikan kemahiran pekerja dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri di Johor?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pemanis di atas soalan berkenaan dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council.
Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council merupakan satu lakaran sejarah baru di negeri Johor dalam usaha untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain di persada dunia. Melalui majlis pelancaran Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) pada tarikh keramat 3 November 2024, negeri Johor secara rasmi merupakan negeri pertama di Malaysia memiliki Majlis Pembangunan Bakatnya sendiri.
Namun Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor ini tidak akan mampu dibentuk tanpa sokongan Yang Amat Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Inilah satu-satunya Jawatankuasa atau Majlis Pembangunan Bakat di negeri dipengerusikan secara terus dan secara langsung oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri.
Seterusnya saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang juga merupakan Pengerusi bersama dalam Majlis Pembangunan Bakat Johor ini. Kesungguhan beliau secara terus dari peringkat akar umbi hingga ke hari ini tanpa jemu dan lelah dalam usaha merealisasikan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) demi negeri Johor dan Bangsa Johor terutamanya tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Terima kasih juga kepada Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi yang juga merupakan menteri peneraju dalam usaha penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang wujud pada hari ini.
Penghargaan juga perlu diberikan kepada 7 kementerian di peringkat persekutuan iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri atas kesudian menjalin kerjasama bersama Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan matlamat peranan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) terlaksana.
Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) ini mempunyai fungsi dan peranan yang jelas dalam membangun dan memperkasakan bakat dan tenaga mahir negeri Johor.
1. JTDC berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pemain industri dengan tenaga mahir serta meminimumkan ketidakpadanan yang membolehkan pemain industri melaksanakan pengambilan pekerja tempatan. Majlis Pembangunan Bakat Johor berperanan untuk memastikan modul dan kursus yang dilaksanakan bertepatan dan sesuai dengan keperluan industri. Inisiatif awal telah dilaksanakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di mana atas sifat keprihatinan berkaitan rakyat Bangsa Johor, beliau sendiri telah mengarahkan pihak Kolej Yayasan Pelajaran Johor untuk menyusun pelan tindakan khusus bagi melipat gandakan bekalan tenaga kerja mahir dalam sektor pelancongan. Ini termasuk memperkenalkan beberapa kursus jangka pendek serta mengutamakan tempoh pelajar menjalani latihan industri di lapangan berbanding pengajian teori di dalam kelas;
2. Majlis Pembangunan Bakat Johor berperanan sebagai pengkalan data yang menyediakan statistik terperinci tentang penawaran tenaga kerja dan permintaan industri daripada institusi pendidikan, agensi persekutuan, pemain industri dan portal pekerjaan. Berdasarkan data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 1 November 2024, 10 industri yang menawarkan peluang pekerjaan tertinggi di Johor dengan gaji melebihi RM4,000.00 termasuklah sektor pembinaan 7,058 peluang pekerjaan, sektor pembuatan 4,239 peluang pekerjaan, pentadbiran dan perkhidmatan sokongan 3,198 peluang pekerjaan, aktiviti profesional saintifik dan teknikal 3,025 peluang pekerjaan dan lain-lain lagi.
3. Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) juga merupakan badan perancangan tenaga kerja yang mengatur program, penyertaan serta keluaran graduan oleh institusi pendidikan dan disesuaikan berdasarkan keperluan industri.
Kerajaan Negeri Johor di bawah Majlis Pembangunan Bakat Johor beriltizam memastikan setiap graduan dari kalangan anak negeri Johor mampu mendapatkan pekerjaan sejurus selepas tamat pembelajaran di universiti atau institusi pembelajaran.
JTDC juga menjadi platform bagi pemain industri untuk menilai kebolehpercayaan kokurikulum dan laluan sedia ada serta penyelarasan latihan dan modul kokurikulum yang disesuaikan dengan keperluan industri.
JTDC juga merupakan jawatankuasa gabungan, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, institut pendidikan dan industri bagi mendapatkan pandangan dan komitmen serta rangkaian menyeluruh ke seluruh kementerian agensi dan jabatan persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemain industri.
JTDC juga mampu menjadi pusat pendidikan bakat dengan mengumpul data yang tersedia, menjalankan analisis jurang permintaan dan penawaran tenaga mahir serta menawarkan cadangan menyeluruh yang menarik bagi Johor sebagai ekosistem pembangunan bakat. Melalui usaha-usaha yang dilaksanakan oleh JTDC sudah pasti tenaga kerja yang dilahirkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain industri di Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor atas usaha untuk memastikan bakat-bakat yang ada dalam negeri Johor ini dapat kita cari dan kita kembangkan untuk memastikan memenuhi keperluan yang ada dalam negeri Johor.
Cuma saya ingin bertanya kepada kerajaan, sejauh mana sebenarnya persiapan kolej-kolej kemahiran, institusi-institusi pengajian tinggi yang ada dalam negeri Johor ini terutamanya dalam memastikan proses untuk kita pastikan modul-modul latihan dan juga silibus-silibus yang ada dalam institusi-institusi pendidikan dan juga kolej-kolej kemahiran ini benar-benar selari dan juga dapat memenuhi keperluan-keperluan industri terutamanya di dalam negeri Johor ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pemanis di atas soalan tambahan tadi. JTDC sentiasa berhubung rapat dengan pihak industri berkenaan dengan modul dan silibus yang bertepatan dengan kehendak pihak industri. Semenjak penubuhan JTDC, beberapa sesi libat urus telah diadakan melalui JTDC bersama dengan pihak industri berkenaan dengan modul dan silibus yang diperlukan oleh pihak industri. Dan, sesi libat urus ini bukan sahaja melibatkan JTDC dan juga pihak industri, ia juga melibatkan beberapa institusi pendidikan bagi memenuhi keperluan pihak industri. Dalam masa yang sama, perkara tersebut telah diangkat di peringkat kementerian supaya melihat kembali bagaimanakah penyelarasan di pihak kementerian dan juga silibus-silibus baru bagi melengkapi keperluan pihak industri untuk menempatkan tenaga mahir dalam negeri Johor.
Dalam masa yang sama, kita juga di dalam JTDC memperkenalkan kaedah pembelajaran yang baru yang dipanggil work base learning di mana pelajar hanya belajar setahun setengah di kolej dan setahun setengah lagi belajar di dalam industri, di mana mereka akan terus diambil bekerja untuk dijadikan pekerja kepada bidang industri. Dan program ini akan kita mulakan, dimulakan dalam Kolej Yayasan Pelajaran Johor. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker kalau boleh soalan tambahan.
Saya jemput dulu, siapa yang bangun dulu? Ada soalan tambahan tak?
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan saya.
YB Kahang sila.
Yang Berhormat Speaker, saya ucap tahniah di atas Majlis Pembangunan Bakat Johor ini. Jadi, saya nak tahu berapa banyak sebenarnya institusi latihan kemahiran yang bertauliah ini sebenarnya berada dalam data Majlis Pembangunan Bakat Johor ini, dalam konteks yang menawarkan kursus-kursus kemahiran berdasarkan kepada kehendak industri kerana kadang-kadang apa yang kita risau ialah banyak kolej-kolej ini tidak bertauliah. Mereka tidak mempunyai kelayakan yang secukupnya tetapi juga menawarkan kursus-kursus seperti itu dan akhirnya apabila pelajar belajar di kolej-kolej ini dan ada keadaan di mana apa yang sijil-sijil mereka tidak mempunyai recognition daripada pihak-pihak tertentu. Jadi, adakah Majlis ini juga memantau kolej-kolej swasta ini yang ada di Johor yang menawarkan kursus kemahiran?
Terima kasih Yang Berhormat. Berkenaan dengan kolej-kolej swasta, dalam masa yang sama pihak JTDC juga sentiasa melakukan sesi libat urus bersama beberapa kolej-kolej dan kolej TVET dalam negeri Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat, melalui Malaysia TVET di dalam negeri Johor kita ada 108 institusi TVET dalam negeri Johor. Dan di mana dalam masa yang sama, kita juga berurusan bersama dengan pihak IPT, yang mana IPT yang berada dalam negeri Johor ada 8 universiti awam dalam negeri Johor iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat dan Pagoh, Universiti Teknologi MARA Pasir Gudang dan Segamat, Universiti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan juga Universiti Islam Antarabangsa Cawangan Pagoh.
Dalam masa yang sama Yang Berhormat, 27 universiti swasta juga terlibat dalam pembangunan Majlis Pembangunan Bakat Johor ini termasuk beberapa politeknik dan kolej komuniti. Maksudnya Yang Berhormat, kesemua institusi pendidikan sama ada institusi pendidikan tinggi dan juga TVET dan juga swasta, kita libatkan sekali dalam Majlis Pembangunan Bakat Johor ini untuk bersama-sama dalam memastikan tenaga mahir yang diperlukan industri dapat ditempatkan terutamanya untuk anak-anak negeri Johor. Terima kasih.
Ada lagi nak tanya? Tak ada. Jemput Yang Berhormat Skudai.
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.
Sudah tentu projek RTS merupakan satu projek yang akan memanfaatkan para pekerja, pengunjung dan penduduk dari Malaysia ke Singapura. Apakah jaminan kerajaan negeri bagi memastikan trafik di sekitar bandaraya Johor Bahru serta seluruh Greater JB tidak akan terbeban?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Skudai, Kerajaan Negeri Johor sedar bahawa projek RTS, Rapid Transit System yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bakal menarik lebih ramai pengguna terutamanya para pekerja dan pengunjung dari kedua-dua negara. Projek ini dijangka membawa beberapa impak positif kepada Bandaraya Johor Bahru, terutamanya dalam aspek ekonomi, sosial dan juga teknologi. RTS akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan di Tambak Johor, yang kini sering mengalami kesesakan teruk. Dengan adanya laluan pengangkutan yang lebih cepat, pengguna yang sebelum ini
menggunakan kenderaan persendirian mungkin akan beralih kepada RTS. Sekiranya tiada perancangan yang teliti, projek yang baik seperti RTS ini bukan sahaja tidak menjadi pilihan, malah kesesakan akan bertambah teruk.
Projek Rapid Transit System antara Johor Bahru dan Singapura dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk, pekerja dan pengunjung yang melintas antara kedua-dua negara. Walaupun manfaatnya jelas, isu kesesakan trafik kekal sebagai satu kebimbingan utama terutamanya di bandaraya Johor Bahru dan kawasan sekitar Greater JB. Melihat kebimbangan tersebut satu jawatankuasa khas telah membincangkan isu kesesakan dan penyuraian trafik di peringkat kerajaan negeri dan kerjasama peringkat kerajaan negeri dan juga kementerian. Dengan kerjasama semua pihak, baik agensi negeri mahu pun persekutuan, satu draf pelan penyuraian trafik untuk Greater JB telah pun dirangka berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber. Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merancang, mengurus dan mengkoordinasi usaha-usaha untuk mengatasi kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di bandaraya Johor Bahru.
Jawatankuasa khas ini telah mengenal pasti 77 kawasan hot spot kesesakan di kawasan Greater JB seterusnya menyediakan pelan cadangan penyelesaian jangka pendek, sederhana serta panjang bagi mengatasi kesesakan trafik. Bagi penyelesaian jangka masa pendek, pengurusan semula lalu lintas telah dibuat di beberapa kawasan iaitu seperti bantuan daripada pihak Polis Trafik untuk membuat kawalan, pembukaan dan penutupan jalan serta penggunaan flexible post bagi mengelak kenderaan yang memotong barisan di persimpangan.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, untuk tahun ini kita telah mengenal pasti lima kawasan atau pun hot spot kesesakan yang telah pun kita ambil tindakan secara quick way antaranya di interchange Perling, di mana kita memohon penguatkuasaan Polis Trafik Johor Bahru Utara pada waktu puncak. FT 188 Jalan Lingkaran Dalam, berdekatan dengan lampu isyarat ke CIQ Imigresen, penguatkuasaan dan tindakan trafik Johor Bahru Selatan. Penutupan point 8 masuk ke BSI dan kenderaan di halakan ke Menara Sarawak, Stulang Laut dan buat u-turn masuk ke point 8A. Jalan Stulang Darat punca kesesakan ialah pengguna jalan raya pergi dan balik kerja, sama juga kita mohon penguatkuasaan dan tindakan trafik Johor Bahru Selatan. Antara lain untuk jangka masa panjang kawasan ini ialah IRDA akan membuat laluan bertingkat dari EDL ke Lingkaran Dalam. Dan FT 001 Jalan Pulai ke Skudai, iaitu berdekatan dengan kawasan Paradigm Mall. Ini kita akan adakan dry run yang akan dilaksanakan pada 5 Januari 2025 iaitu cadangan untuk menutup lorong dari Taman Johor ke jalan utama FT 001.
Kerajaan Negeri melalui PAJ juga akan bekerjasama dengan APAD, bagi meningkatkan lagi kekerapan bas di kawasan bandaraya Johor Bahru melalui Program myBAS dan Bas Muafakat Johor. Bagi memudahkan pergerakan pengguna lain selain mengurangkan jumlah kenderaan di pusat bandar. Insya-Allah, bermula tahun hadapan laluan bas myBAS dan BMJ ini akan ini akan diintergrasikan dengan mengambil kira taburan pengguna. Selain RTS, kerajaan negeri juga merancang untuk memperkasa pengangkutan awam lain seperti bas, bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar bandaraya dan kawasan berhampiran.
Selain itu kerajaan juga berhasrat untuk menyediakan lebih banyak kemudahan park and ride di sekitar stesen RTS dan di beberapa kawasan strategik lain. Ini membolehkan penduduk dari luar bandar untuk meletakkan kenderaan mereka dan menggunakan pengangkutan awam masuk ke pusat bandar. Kemudahan park and ride di luar bandar adalah satu pendekatan berkesan untuk mengurangkan kesesakan trafik di kawasan pusat bandar dalam konteks Johor Bahru dalam projek RTS link ini. Kemudahan park and ride boleh menjadi solusi efisien untuk memudahkan penduduk tempatan dan pelawat
mengakses sistem pengangkutan awam tanpa perlu membawa kenderaan mereka ke pusat bandar.
Selain pengurusan trafik, serta menambah baik jajaran pengangkutan awam terdapat beberapa projek yang melibatkan pelebaran jalan serta naik taraf jalan yang akan siap menjelang 2026 dan 2027. Antara projek yang akan siap menjelang operasinya RTS ialah projek menaik taraf dan membina baharu di Jalan Gelang Patah (J4) bernilai RM6.2 juta yang telah bermula 2020 dan dijangka siap pada 2026. Projek menaik taraf lebuh raya Pasir Gudang FT 17 fasa 2B dari persimpangan Bandar Seri Alam, Taman Rinting ke Pasir Gudang bernilai RM78 juta bermula 2023 dan dijangka siap 2026. Projek menaik taraf lebuh raya SDE dari 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hala sepanjang 9.4 kilometer bernilai RM160 juta dijangka bermula pada tahun hadapan dan dijangka siap pada tahun 2027. Projek pembinaan directional ramp di persimpangan Senai - Desaru Ekspresway, bernilai RM86.6 juta telah bermula pada tahun 2022 dan dijangka siap 2026.
Projek persimpangan bertingkat dari EDL ke pusat bandar Johor Bahru ke Stulang Laut bernilai RM371.7 juta bermula tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2028 serta projek pembinaan lorong tambahan plus highway fasa 1 bernilai RM525 juta yang dijangka siap pada tahun 2027. Bagi jangka masa sederhana dan panjang, beberapa projek dan inisiatif berskala besar turut dirancang. Antaranya pembangunan koridor-koridor pengangkutan awam iaitu koridor utara melibatkan penggunaan KTM, penggunaan komuter. Koridor selatan menghala ke Skudai, koridor barat, Iskandar Puteri, koridor timur, Tebrau. Serta koridor timur barat oleh Kereta Api Tanah Melayu ( KTM).
Selain pembangunan koridor pengangkutan awam, projek-projek yang melibatkan infrastruktur seperti pembinaan interchange baharu, pembinaan jalan baharu serta pelebaran jalan raya termasuklah projek pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan dan SDE. Semua ini telah disusun berdasarkan unjuran pembangunan semasa bagi Johor amnya dan Johor Bahru khususnya. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan bahawa perkara ini akan terus dipantau dan tersaling hubungan trafik di sekitar RTS dan Greater JB akan dipertingkatkan. Dengan langkah-langkah proaktif ini, Kerajaan Negeri berusaha memastikan pelaksanaan projek RTS dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa menambah beban trafik yang ketara kepada penduduk setempat. Terima kasih.
Soalan tambahan saya, kalau kita lihat eh, ada kalanya pekerja Malaysia di Singapura yang pergi bekerja di Singapura mereka akan menaiki bas, maksudnya akan menaiki bas dan park kereta-kereta di kawasan-kawasan yang berhampiran walau pun kawasan tersebut berhampiran dengan stesen bas, mereka tak kan menaiki pengangkutan awam. Dan tadi YB pun ada mengatakan mungkin akan beralih pada RTS, mungkin, jadi persoalan saya adalah kita tak boleh nak harapkan pada PBT sahaja untuk dia tarik kereta setiap hari, jadi kena ada satu perancangan yang khusus. Dan kalau kita lihat tadi terdapat jawatankuasa khas ditubuh untuk mengurus mengkoordinasi jadi adakah terdapat perancangan untuk mengenal pasti operator pengangkutan ini dan mengadakan perbincangan? Sebab kalau kita lihat terdapat kesesakan di kawasan Senai, Johor Jaya, Skudai, Perling, yang mana mereka bekerja di Singapura ini akan parking kereta merata-rata untuk naik bas kilang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Skudai. Seperti yang saya maklumkan tadi, dilakukan unjuran semasa projek RTS ini dibina dijangkakan 16 peratus ke 20 peratus pengguna yang menggunakan sedia ada akan beralih kepada mode RTS. Walau bagaimanapun, kita risau juga sekiranya16 atau pun 20 bas itu datangnya daripada mereka yang memang sedang menggunakan pengangkutan awam ataupun pengguna bas pindah kepada RTS. Ini maksudnya kita tak dapat mengurangkan kesesakan tersebut. Oleh itu kita selalu adakan mesyuarat berkala dengan projek RTS dan insya-Allah antara perkara yang kita nak jalankan ialah promosi,
mempromosikan penggunaan RTS ini. Sebab macam saya sebutkan tadi, dengan unjuran 16 peratus ke 20 peratus sekiranya pengguna yang beralih ke RTS ialah pengguna kemudahan awam sedia ada. Ia tidak memberi manfaat kepada kesesakan atau pun menyelesaikan masalah kesesakan. Jadi isu kita ialah promosi dan insya-Allah kita ada masa dalam dua tahun lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, 2025 dan 2026. Dengan bantuan Yang Berhormat insya-Allah kita dapat melakukan promosi supaya mereka yang selalu menggunakan kenderaan persendirian akan beralih ke mode RTS.
Berkaitan dengan operator bas ataupun mereka yang mengendalikan pengangkutan-pengangkutan awam, memang seperti yang saya sebutkan tadi jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat negeri Johor kita juga turut dijemput dalam jawatankuasa khas, Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh TPM 1, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Perbincangan melibatkan dua peringkat iaitu bersama dengan pihak MOT secara teknikal, dan kemudian di bawa ke peringkat jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh TPM 1.
Untuk makluman Yang Berhormat Skudai, semua lokasi-lokasi ini kita dah compile kan dan betul ada yang memang memerlukan perkhidmatan bas atau pun operator-operator ni dapat dipertingkatkan. Seperti yang saya sebutkan tadi, myBAS peruntukan daripada federal bernilai RM50 juta. Bas Muafakat Johor peruntukan daripada Kerajaan Negeri bernilai RM28 juta. So kita ada RM78 juta khas untuk pengangkutan awam bas. Dan disebabkan itu mulai tahun hadapan APAD dan PAJ akan bekerjasama untuk memastikan tiada jalan yang redundant atau pun jalan, redundant apa? bertindih, minta maaf Datuk Speaker, jalan yang bertindih. Disebabkan kedua-dua mode bas ini satu berbayar dan satu tidak berbayar. Kita risau kalau jalannya bertindih mereka akan prefer yang tak berbayar oleh itu pada tahun hadapan awal bulan 3 saya difahamkan kedua-dua agensi ini, APAD menguruskan myBAS 50 dan PAJ menguruskan Bas Muafakat Johor akan duduk semeja memastikan pada tahun hadapan tiada lagi lokasi-lokasi kawasan bertindih supaya kawasan-kawasan tu kita alihkan ke kawasan lebih padat penduduk dan seterusnya untuk macam saya sebutkan tadi berkaitan untuk ke Senai dan sebagainya. Saya sebutkan tadi ada 5 corridor. 5 corridor ini melibatkan ke Senai, ke Iskandar Puteri, ke Skudai dan sebagainya ke Jalan Tebrau. Kelima-lima corridor ni Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Skudai alhamdulilah, untuk projek cadangan ART buat masa ini telah pun dipersetujui oleh peringkat kerajaan persekutuan cuma kita sedang finalize kan dia punya jajaran dan sebagainya. Tiga jajaran untuk ART dan dua lagi ialah jajaran KTM iaitu jajaran double track dan juga jajaran kita punya kargo daripada PTP, Kempas juga Pasir Gudang. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran 12 orang pemerhati daripada Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor yang ditaja oleh EXCO Kemajuan Luar Bandar dan ADUN Buloh Kasap ya. Kemudian lima orang pegawai-pegawai daripada pejabat ADUN kawasan Puteri Wangsa. Dijemput Yang Berhormat Kemelah.
Selamat Sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 3. Terima kasih.
Apakah status pelaksanaan projek lampu jalan Kampung bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)?
Bismilahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Kemelah. Yang Berhormat Kemelah membangkitkan persoalan berkenaan status perlaksanaan projek lampu jalan kampung di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW). Untuk makluman Dewan projek lampu jalan kampung atau LJK adalah salah satu inisiatif dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Pelaksanaan Projek Lampu
Jalan Kampung adalah bertujuan untuk menceriakan kawasan liputan kampung supaya penduduk kampung dapat melaksanakan aktiviti ekonomi sosial dan riadah pada waktu malam dengan lebih selesa dan selamat. Pelaksanaan projek LJK adalah secara berperingkat-peringkat dan kos operasi serta penyelenggaraan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan secara berterusan.
Program Projek Lampu Jalan Kampung telah dilaksanakan sebanyak 11 fasa, selama hampir 20 tahun iaitu bermula tahun 2004 dan sehingga tahun 2024 ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memasang 62,851 unit lampu jalan kampung di seluruh negeri Johor. Anggaran kos bagi satu unit lampu jalan kampung ini jenis SPSB ialah bernilai RM484.00. Manakala lampu jalan kampung jenis LED adalah RM2,300.00. Kos bil bulanan ditanggung sepenuhnya oleh pihak KKDW bagi lampu jalan kampung jenis SPSB adalah RM17.02 per unit, manakala bil bulanan bagi lampu jalan kampung jenis LED adalah RM8.51. Bagi proses pelaksanaan Program Lampu Jalan Kampung LED fasa 11 tahun 2024 ini, pemasangannya telah siap pada November 2024 iaitu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,653 unit keseluruhan yang melibatkan 899 kampung termasuk kampung induk dan kampung rangkaian. Johor merupakan negeri tertinggi menerima lampu jalan kampung LED ini berbanding semua negeri bagi fasa 11 ini. Dan, untuk makluman Dewan bagi Parlimen Sekijang sebanyak 99 unit telah dipasang dan untuk DUN Kemelah 60 unit telah dipasang bagi fasa 11 ini. Bermula tahun ini Projek Lampu Jalan Kampung Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) akan dilaksanakan dengan pemasangan lampu LED solar. Sebagai permulaan 4 negeri telah dipilih untuk pemasangan lampu LED solar ini termasuk Johor dan untuk makluman Dewan juga bagi projek rentis lampu solar ini negeri Johor telah diperuntukkan kuota sebanyak 1,000 unit dan senarai cadangan lokasi pemasangan telah dimajukan kepada KKDW dan sekarang dalam proses tindakan selanjutnya. Kawasan yang layak dipasang lampu LED solar ini termasuk kawasan luar bandar dan pinggir bandar, kampung orang Asli dan kampung-kampung di luar kawasan PBT. Pemasangan lampu LED solar ini diberi keutamaan bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau sistem talian gred serta kawasan terpencil yang mempunyai kesukaran akses kepada jentera bagi tujuan pemasangan dan penyelenggaraaan atau pun di jalan yang tiada sumber utiliti, sekurang-kurangnya 100 meter. Pemasangan lampu LED solar ini juga turut dibenarkan di sepanjang jalan utama dalam kawasan kampung dengan keutamaan diberikan kepada bahagian hadapan bangunan awam seperti balai raya, rumah ibadat, kawasan tumpuan awam dan sebagainya. Pada masa ini jumlah pemasangan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 40 unit bagi setiap kampung dan akan dipasang pada jarak yang munasabah. Dengan jumlah akhir turut mengambilkira bilangan lampu jalan kampung konvensional sedia ada. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya, sila YB.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan saya adakah projek-projek bina baru jalan kampung turut juga melibatkan skop pemasangan lampu-lampu jalan sekali? Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker seperti yang saya maklum tadi bahawa pemasangan lampu jalan kampung termasuk lampu solar adalah di kawasan-kawasan yang strategik iaitu di kawasan-kawasan yang mempunyai tumpuan ramai termasuk di persimpangan dan di kawasan bangunan awam seperti balai raya, rumah ibadat dan kawasan tumpuan. Walau bagaimanapun menjawab soalan tambahan daripada Yang Berhormat Kemelah tentang persiapan ataupun pembinaan jalan baru adakah dimasukkan pemasangan lampu ini, saya nak maklumkan bahawa kita telah mencadangkan kepada pihak kementerian supaya sebarang pembinaan jalan baru di kawasan kampung kita cadangkan supaya dia masukan
juga kos bagi penyiapan lampu solar ini di kawasan yang bersesuaian termasuk di selekoh, di persimpangan jalan dan tumpuan. Baik terima kasih Yang Berhormat Kemelah.
Dijemput Yang Berhormat Penawar.
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 4. Nyatakan statistik terkini pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk negeri Johor dan usaha proaktif kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi golongan wanita di negeri ini untuk mencarum di bawah SKSSR?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumahtangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan yang menjejaskan keupayan suri rumah untuk menguruskan rumahtangganya. Bencana domestik boleh berlaku di dalam atau di luar rumah yang melibatkan kecederaan sendiri kepada seseorang suri rumah akibat daripada dan semasa menguruskan rumahtangganya. SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau pun keuzuran di mana penyakit atau keuzuran tersebut diperakukan keilatannya oleh penilai perubatan atau jemaah doktor rayuan. Penyertaan adalah secara sukarela bagi mendapatkan perlindungan SKSSR ini. Berdasarkan statistik PERKESO dari tempoh Januari hingga 31 Oktober 2024 seramai 477,147 pencarum aktif telah berdaftar di bawah SKSSR. Daripada jumlah tersebut seramai 23,516 orang atau pun 4.93 peratus orang suri rumah adalah dari negeri Johor. Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO melalui Kerajaan Negeri secara berterusan berusaha mengatur strategi bagi mempromosikan skim ini kepada rakyat Malaysia khususnya golongan wanita di negara ini dan memastikan kadar pendaftaran pencarum di bawah skim ini terus meningkat. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti berikut:- Pertama, bergiat sesi libat urus dengan pengisian jabatan agensi, badan bukan kerajaan dan persekutuan. Berdasarkan statistik sehingga 31 Oktober 2024 PERKESO telah melaksanakan sebanyak 3,757 sesi libat urus, daripada jumlah tersebut sebanyak 321 sesi telah pun dilaksanakan di negeri Johor. Menjalinkan kerjasama strategik majikan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, orang perseorangan untuk menggalakan penajaan daripada mereka. Berdasarkan statistik juga dari tempoh 1 Disember 2022 hingga 31 Oktober 2024 sebanyak 94 penaja yang terdiri daripada majikan atau ADUN atau orang perseorangan telah menaja 18,372 orang suri rumah dengan jumlah penajaan sebanyak RM2.2 juta. Penajaan suri rumah di negeri Johor adalah sebanyak RM93,360.00 buat sementara melibatkan 778 orang suri rumah Johor. Antara ADUN yang menyumbang penajaan ini termasuk ADUN Pulai Sebatang, ADUN Perling dan juga saya sendiri, dari Paloh. Ada juga kita menjalinkan kerjasama strategik bersama Yayasan Kebajikan Negara untuk memberi pengecualian cukai kepada badan-badan korporat, syarikat swasta, GLC, NGO, agensi dan mana-mana individu yang menjana, menaja caruman SKSSR untuk golongan wanita B40. Akhir sekali kerajaan juga menggalakan kerja untuk membuat potongan gaji melalui majikan bagi bayaran caruman SKSSR dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Kesatuan Majikan dan Kesatuan Sekerja. Majikan juga digalakkan untuk membuat pendahuluan caruman dan membuat potongan bulanan melalui gaji pekerja. Sekian, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 5. Mohon kerajaan negeri Johor menaikkan elaun guru KAFA daripada RM512.00 ke RM1,000.00?
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab soalan daripada YB Senggarang, perihal pertanyaan beliau mohon Kerajaan Negeri menaikkan elaun guru KAFA daripada RM512.00 ke RM1,000.00. Pertamanya terima kasih YB Senggarang atas keprihatinan terhadap kebajikan guru-guru KAFA. Buat masa ini Kerajaan Negeri masih mengekalkan elaun guru KAFA sekadar RM512.00 seorang sebulan dan sedang diteliti bagi maksud kenaikan. Untuk Makluman Yang Berhormat Sidang Dewan Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain Atau Singkatan KAFA Bermula Pada 1990 Melalui Insentif JAKIM Sebagai Usaha Memperkenalkan Pengajian Al-Quran Dan Fardu Ain. Pada Awalnya Mengikuti Pembelajaran Dan Pengajaran KAFA Hanya Dijalankan Pada Sebelah Petang, Setelah Tamat Sesi Persekolahan Sekolah Kebangsaan. Namun, bermula tahun 1990 negeri Johor telah menguatkuasakan perlantikan guru KAFA. Kuota yang ada pada ketika itu hanyalah 150 orang sahaja dan kini bertambah sehingga 2,000 orang. KAFA pada awalnya diperkenalkan kepada pelajar berumur 7 dan 8 tahun. Selepas mereka berumur 9 tahun mereka akan masuk ke Sekolah Agama Kerajaan. Namun begitu, sejak perubahan dasar kemasukan ke sekolah agama dilaksanakan Kerajaan Johor telah menetapkan umur masuk ke sekolah agama adalah pada 7 hingga 12 tahun dan bukan lagi 9 tahun hingga 14 tahun seperti tahun-tahun sebelum. Dan di Johor guru KAFA diminta mengajar bersama-sama guru-guru di gred DG29 di Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor. Oleh kerana KAFA adalah produk JAKIM Datuk Speaker, maka Kerajaan Persekutuan telah terlebih dahulu memberikan elaunnya pada peringkat awal dahulu serendah RM168.00 sebulan dan ia meningkat setahun demi setahun sehinggalah pada tahun lepas kerajaan pusat menaikkannya kepada RM1,100.00. Maka RM1,100.00 Datuk Speaker, tambah dengan RM512.00 elaun daripada Kerajaan Johor guru KAFA di Johor menikmati elaun sebanyak RM1,612.00. Pada tahun 2000, Kerajaan Johor telah pun memulakan penambahan KWSP dan juga caruman PERKESO. Meskipun Kerajaan Johor hanya memberikan penambahan elaun RM512.00 sebulan berbanding RM1,100.00 yang diberikan oleh pihak JAKIM, namun guru-guru KAFA di Johor ada keistimewaan terutamanya di bawah pentadbiran Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, guru-guru KAFA juga menikmati elaun dan bantuan khas kerajaan seperti mana yang dinikmati oleh penjawat-penjawat awam yang lain. Guru-guru KAFA di Johor menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000.00 sebagai tambahan kepada bantuan khas kewangan yang diberikan oleh JAKIM RM700.00 pada tahun ini. Selain itu guru KAFA Johor juga menerima bantuan khas kewangan hari raya sebanyak RM1,500.00 sama seperti yang dinikmati oleh kakitangan awam Johor yang lain. Bagi inisiatif tersebut sebanyak RM2,877.56 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Johor bagi menampung bayaran tersebut pada 2,006 orang guru KAFA seluruh negeri Johor yang layak. Sejumlah RM3,542,721.06 telah diperuntukkan bagi inisiatif bantuan khas kewangan kepada 1,700 yang layak pada tahun ini. Bukan itu sahaja guru-guru KAFA juga sentiasa mendapat keutamaan di peringkat Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.63 juta setahun bagi 2,000 guru KAFA untuk membiayai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka dan RM231,600.00 setahun bagi caruman PERKESO di mana setiap guru KAFA dicarumkan RM68.00 sebulan atau RM816.00 setahun bagi caruman KWSP. Dan, RM9.65 sebulan atau RM155.80 setahun bagi caruman PERKESO.
Setakat November 2024 pengisian guru KAFA di Johor adalah seramai 1,963 orang berbanding 2,000 kuota yang disediakan. Di pihak jabatan juga kita komited ke arah memperkasakan mutu, kualiti dan kemahiran guru-guru KAFA. Di negeri Johor ini mereka diberikan latihan dan kursus sama ada di peringkat negeri atau peringkat daerah diselia oleh Bahagian Pendidikan Islam. Sebanyak 35 kursus dijalankan sepanjang tahun ini melibatkan 1,900 guru KAFA dengan peruntukan sebanyak RM112,500.00 termasuk peruntukan yang diberikan oleh Permodalan Darul Ta'zim (PDT) sebanyak RM50,000.00. Yang Berhormat, menerusi ucapan 2025 Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengumumkan bonus dua bulan kepada penjawat awam yang berkhidmat termasuk penjawat awam lantikan persekutuan yang berkhidmat dalam negeri Johor yang gajinya juga dibayar oleh Kerajaan Negeri. Maka suka juga saya nyatakan guru-guru KAFA juga tak ketinggalan apabila mereka juga bakal menerima bonus 2 bulan minimum RM1,500, maksimum RM2,000 bagi menghargai jasa dan khidmat yang dicurahkan dalam mendidik anak-anak kita di sekolah-sekolah agama kerajaan Johor.
Kaedah pembayaran bonus kepada guru-guru KAFA ini dilaksanakan sama seperti amalan pembayaran tahun ini di mana pemberiannya adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan guru tersebut.
Meskipun kerajaan Johor masih mengekalkan elaun guru KAFA pada kadar RM512.00. Namun begitu, banyak insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri dan persekutuan kepada guru-guru KAFA kita ini, dengan tujuan meringankan beban mereka dan menjaga kebajikan serta menghargai jasa mereka. Antaranya Datuk Speaker saya sebutkan tadi, bantuan khas kewangan, bantuan khas hari raya dan bantuan khas kewangan oleh kerajaan persekutuan.
Meskipun penambahan guru KAFA pada ketika ini Yang Berhormat Datuk Speaker kita belum dapat naikkan. Namun Kerajaan Johor bersifat cakna terhadap isu kebajikan guru-guru KAFA dan sentiasa memastikan guru-guru KAFA ini tidak akan terkecuali menikmati insentif-insentif kewangan kakitangan Kerajaan Negeri.
Bagi memastikan guru-guru KAFA dapat menambah baik karier mereka ke tahap yang lebih cemerlang, guru-guru KAFA yang mempunyai diploma atau ijazah di dalam bidang pendidikan, diberi peluang untuk memohon jawatan guru gred DG29. Sebanyak 631 jawatan tetap dan kontrak dibuka penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. Dari jumlah tersebut, 245 orang guru KAFA diserap ke jawatan tetap dan 96 orang ke jawatan kontrak.
Saya ingin mengajak sidang Dewan untuk bersama-sama kita melihat pengiktirafan yang diberikan oleh Menteri Besar Johor ini dalam Bajet 2025 kepada guru KAFA yang mendidik anak-anak kita. Pada tahun hadapan pula, Kerajaan Johor bersetuju membuka sebanyak 300 jawatan kosong untuk guru gred DG29, maka guru-guru KAFA yang sedang bertugas ketika ini Datuk Speaker akan diberikan keutamaan untuk memohon. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Kukup.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sendu sendiri tidak berteman, soalan Kukup nombor 6.
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan belia untuk mendapatkan rumah pertama mereka serta pembinaan baru untuk rumah mampu milik Johor di kawasan Kukup yang belum pernah wujud dan terlaksana?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih kepada Datuk Speaker, terima kasih kepada YB ADUN Kukup.
Pertanyaan ADUN Kukup berbunyi apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan belia untuk mendapatkan rumah pertama mereka serta pembinaan rumah untuk rumah mampu milik khususnya di kawasan Kukup yang belum pernah wujud dan terlaksana?
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Yang Berhormat Kukup, sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan rumah mampu milik, saya ingin memaklumkan sekali lagi bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran membina 30,000 rumah mampu milik daripada tahun 2022 sehingga 2024.
Untuk rekod sehingga bulan November 2024, sebanyak 13,461 rumah mampu milik yang telah berjaya disiapkan semenjak tahun 2022 sehingga kini dan telah pun diserahkan kunci. Alhamdulillah, setelah sekian lama di DUN Kukup tidak memiliki rumah mampu milik, saya ingin berkongsi bahawa sebanyak 2 campur 1 projek rumah mampu milik sedang dibina dan akan dibina di dalam kawasan DUN Kukup seperti berikut:
1. Pemaju Shiya Development Sdn. Bhd., nama projek Taman Rimba Indah 9 Fasa 2B; jenis rumah kategori A 50 unit berharga RM50,000.00; kategori B berharga RM100,000.00, 36 unit; jumlah sebanyak 86 unit; dan insya-Allah iklan untuk dalam Portal e-rumah Johor akan bermula pada tahun hadapan yakni tahun 2025;
2. Projek yang kedua di bawah Shiya Development juga, iaitu Lot 5373 GRN 585638 Mukim Rimba Terjun jenis A berharga RM50,000.00 sebanyak 20 unit dan jenis B berharga RM100,000.00, 42 unit; dan jenis C ia ini RM150,000.00, 60 unit townhouse ia ini bawah owner lain dan atas pemilik lain; dan jenis D berharga RM200,000.00, 39 unit; menjadikan jumlah 161 unit. Itu 2 yang insya-Allah akan diiklankan dalam Portal eRumah Johor pada tahun hadapan ia ini pada tahun 2025. Dan dijangka siap projek landed teres ini kebiasaannya pemaju ambil masa 2 tahun atau 24 bulan untuk disiapkan berbanding rumah flat atau strata ambik masa 36 bulan atau 3 tahun;
3. Dan projek yang terbaru, baru dibincangkan di peringkat teknikal ialah di kawasan Rimba Terjun. Pemaju adalah KSL. Sebanyak 100 unit yang berharga RM150,000.00.
Terima kasih.
Soalan tambahan. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO kerana memberi penjelasan dan Alhamdulillah ada pencerahan tentang rumah mampu milik Johor di DUN Kukup.
Cuma soalan tambahan saya, adakah kita mempunyai peraturan iaitu mana-mana pembeli yang datang daripada kawasan lain walaupun rumah tersebut ada di DUN Kukup, tetapi mereka duduk di Johor Bahru dan sebagainya ingin membeli rumah di kawasan tersebut. Itu yang pertama.
Yang kedua ialah adakah kerajaan menyediakan kemudahan atau jaminan bagi mereka atau pembeli yang mempunyai masalah untuk mendapatkan pinjaman. Kadang-kadang anak-anak muda ini birokrasi bank ini mereka kerja online, kerja sendiri, tak ada slip dan sebagainya tetapi mereka ada biaya untuk membayar rumah mampu milik Johor. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat ADUN Kukup.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama soalan tentang cara kaedah pemilihan atau tawaran rumah mampu milik di satu-satu kawasan. Di peringkat kerajaan, kita sebenarnya ada satu ekosistem yang hampir lengkap.
Pertama, bila ada satu tawaran di satu-satu kawasan contoh ini kawasan Kukup, ada tawaran biasa kita iklankan. Kalau projek itu baru dimulakan dengan kerja tanah maknanya iklan, tempoh iklan dalam Portal eRumah Johor selama 3 bulan. Kalau projek itu lebih bangunan ini telah lebih 50 peratus projek pembangunan maksudnya bangunan telah naik dan lebih daripada 50 peratus, iklan biasa 2 bulan dalam Portal eRumah Johor. Dan jika rumah itu telah siap dan ada CCC, tinggal nak serah kunci sahaja, biasa iklan itu akan dibuka dalam masa 1 bulan.
Selepas itu, selepas diiklankan biasanya kita akan buat tapisan dari segi teknikal mana yang layak dan tidak layak. Dan layak akan dia pergi pada go for the balloting atau dipanggil pengundian, pengundian. Jadi dalam pengundian itu, di peringkat pemohon-pemohon ini akan dimaklumkan dari segi melalui emel. Jadi, selepas itu bila berlaku proses pengundian secara online, maknanya semua pemohon yang layak akan diberi makluman bahawa pada tarikh sekian akan diadakan pengundian. Dan mereka boleh tengok secara online dan siapa nombor mana yang naik dan nombor mana tidak berjaya.
Selepas proses itu, selepas seminggu kita akan adakan dipanggil J-Home One Stop Centre. J-Home One Stop Centre ini, mana mereka yang ditawarkan sijil rumah, kita contoh ada di Dewan Kukup, kita akan buat satu J-Home One Stop Centre, di situ kita akan serah sijil rumah kepada mereka yang berjaya. Itu prosesnya.
Dan untuk menjawab soalan Kukup tadi, bagaimana dalam satu-satu DUN Kukup, rumah tak banyak hanya tulah aje ada, mungkin 200 unit dan kalau ia dibuka pada satu Johor yang layak khasnya Bangsa Johor, maksudnya ramai orang masuk dalam permohonan eRumah pasal eRumah ini sesiapa saja boleh mohon asalkan saja dia adalah first house. Satu syarat mandatori dia 2 saja, dia tak ada pemilikan rumah, tak ada pemilikan tanah, dia boleh mohon dalam eRumah.
Jadi kita boleh, YB boleh membincangkan pada kerajaan sebagaimana kita buat di Daerah Pagoh. Pagoh sebelum ini tak ada rumah mampu milik, jadi di peringkat YB Kawasan mencadangkan memohon pada kerajaan mempertimbangkan supaya 50 peratus daripada jumlah yang dibuat pengundian itu mestilah pengundi atau mereka yang duduk di Kukup. Itu yang pertama.
Yang kedua, isu pembiayaan. Untuk makluman yang Dewan yang mulia ini, selama 2 tahun setengah antara perkara yang paling sukar, paling susah tentang ialah pembiayaan. Kadang-kadang kita merayu juga kepada bank-bank yang ada ini untuk memberi kelonggaran kepada mereka yang mendapat tawaran rumah. Sebab itu ada 2 perkara.
Pertama, saya nak beritahu dulu siapa yang tak boleh mohon rumah, tak payahlah masuk dalam sistem eRumah kita. Pertama mereka yang bankrapsi. Kalau mereka bankrapsi, tak ada kaedah lain, maksudnya senang cakap diharamkanlah untuk mohon rumah mampu milik. Pasal dia kena selesaikan status bankrapsi dia itu dulu.
Yang kedua, mereka yang ada komitmen lebih daripada 60 peratus, sebagai contoh kalau gaji dia RM1,000.00 sebulan, dia punya komitmen dia maksudnya dia bayar kereta, mungkin bayar apa tu belanja rumah, dia lebih daripada RM600.00. Yang ini dah tentulah pihak bank tidak akan memberi kelulusan. Sebab itu untuk mudahnya ialah contoh sebagai pinjaman RM50,000.00. Pinjaman RM50,000.00 biasanya bank akan kenakan faedah dalam 4 peratus. Tempoh pinjaman maksimum bagi orang muda ialah boleh pergi sehingga 35 tahun, 35 tahun. Anggaran ansuran bulanan untuk RM50,000.00 pinjaman loan lebih kurang
dalam RM220.00. Jadi, pendapatan bersih minimum yang diperlukan atau syarat bank atau skim bank itu ialah maksimum 50 peratus atau dipanggil DSR. Jadi, orang muda sekurang-kurangnya memerlukan pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM440.00 sebulan. Jadi, inilah cabaran-cabaran yang saya rasa dari segi pembiayaan.
Yang kedua, saya nak maklumkan jugak bahawa di peringkat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada tahun lepas atau pembentangan bajet yang lepas telah meluluskan satu pembiayaan atau jaminan sebanyak RM10 bilion setahun untuk semua peminjam-peminjam sama ada orang muda atau mereka yang bukan kakitangan kerajaan yang pertama dan bukan kakitangan swasta, maksudnya dia tak ada pay slip. Tak ada pay slip sebagai contoh, SJKP ini dipanggil Skim Jaminan Kredit Perumahan, skim ini ialah membantu golongan berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pendapatan tetap seperti bekerja sendiri untuk memiliki rumah pertama.
Antara syarat-syarat asas permohonan ialah pertama warganegara Malaysia, pembelian rumah pertama, pendapatan bulanan bergantung pada harga jualan rumah dan jenis pendapatan terbuka kepada individu yang tiada pendapatan tetap seperti peniaga kecil, pekerja gig, petani, nelayan atau pekebun kecil dan had harga rumah ialah di bawah RM300,000.00 dan ke bawah. Jadi, sebenarnya ramai di peringkat pembeli-pembeli kita ini, pertama dia pergi pada loan bank biasa. Kedua, dia boleh pergi pada bank yang ada skim untuk SJKP. SJKP dia cakap ok, ni saya nak mohon dalam bentuk SJKP. Sebab itu, sekarang ini untuk anak-anak kita yang orang muda yang kerja gig ni, apa yang nelayan, petani asalkan sahaja dia boleh membuktikan bahawa dia ada pendapatan dan boleh bayar balik pembiayaan bank, maknanya biasa bank akan consider untuk luluskan pinjaman tersebut, sebab Perdana Menteri dah bagi jaminan RM10 bilion tadi. Saya nak kongsi juga SJKP.
Yang Berhormat ringkaskan Yang Berhormat.
Ok, jadi saya ingat setakat ini, di peringkat SJKP di Johor telah mendapat sebanyak pada tahun 2023 sebanyak 3,043 pemohon telah berjaya melibatkan pinjaman RM546 juta. Pada tahun ini, yakni sehingga September 2024 bilangan permohon yang berjaya ialah 3,842 melibatkan RM704 juta. Sekian, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Bismillahirahmannirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7. Apakah status dan perancangan kerajaan negeri bagi kerja-kerja menaik taraf klinik daif di negeri Johor seperti Klinik Kesihatan Gelang Patah?
Terima kasih Datuk Speaker. Salam Bangsa Johor, salam maju Johor pada sesi Dewan. Terima kasih soalan daripada Kota Iskandar, saya ingin mulai jawapan saya dengan sebahagian teks ucapan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa pembentangan Bajet. Walaupun fasiliti kesihatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan whole of government approach bagi menyelesaikan setiap isu yang melibatkan kesejahteraan dan kesihatan Bangsa Johor. Sebagai kerajaan yang sentiasa berusaha memahami kesukaran dan denyut nadi rakyat, kita tidak akan membiarkan fasiliti kesihatan yang uzur, sesak dan tidak mencukupi menjadi penghalang kepada rakyat untuk mendapat rawatan yang mereka perlukan. Atas sebab itu Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus melipatgandakan usaha untuk menaik taraf infrastruktur kesihatan negeri Johor ini. Oleh itu,
Kerajaan Negeri Johor sentiasa bekerjasama dengan kerajaan pusat melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk mengenal pasti fasiliti kesihatan premier yang daif dan perlu dinaik taraf. Pada tahun 2023 sebanyak 43 fasiliti kesihatan telah dinaik taraf. Manakala pada tahun 2024 ini, 55 fasiliti kesihatan telah dinaik taraf. Bagi tahun hadapan sebanyak 45 fasiliti kesihatan telah dikenal pasti untuk dicadangkan bagi kerja-kerja naik taraf. Sebagai contoh, Klinik Kesihatan Gelang Patah telah menerima peruntukan bagi kerja menaik taraf pembaikan seperti pada tahun 2023 melibatkan kerja pembinaan Klinik Demam dan juga penurap jalan yang peruntukannya datang daripada Kerajaan Negeri dan juga ADUN Perling juga sebagai Ahli Parlimennya. Pada tahun 2024 melibatkan projek pembangunan klinik daif meliputi pembinaan ruang menunggu sakit di kawasan pintu masuk utama dan ruang menunggu di Klinik Demam. Selain itu KK Gelang Patah turut menerima peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf ruang pusat penilaian COVID-19 (CAC), naik taraf tandas pesakit dan pembinaan tandas OKU untuk pesakit. Datuk Speaker, pada 20 Oktober 2024, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah membuat lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Gelang Patah. Hasil lawatan tersebut beberapa perancangan telah dibuat. Bagi perancangan jangka pendek, Kerajaan Negeri akan membantu dalam perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan ataupun perabut dan peralatan ICT yang telah uzur bagi penggantian segera dan jumlah peruntukan RM4 juta telah diumumkan dalam Bajet 2025. Manakala perancangan jangka sederhana, Kerajaan Negeri bersedia membantu penyewaan 2 unit rumah kedai bagi menempat perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak. Pembinaan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak di rumah kedai boleh mengurangkan kesesakan di klinik sedia ada. Selain itu penyediaan ruang parkir di dalam kawasan KK Gelang Patah di belakang Kuarters KK Gelang Patah. Akhirnya perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri akan terus berusaha bersama kerajaan pusat bagi merealisasikan pembinaan klinik kesihatan yang baru, jenis 2 di tapak berhampiran Klinik Kesihatan Gelang Patah sedia ada. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO di atas cakna dengan isu yang saya bangkitkan. Soalan saya pada pagi ni Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melayari TikTok Yang Berhormat Dato’ Jafni, EXCO Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai satu projek perumahan Bangsa Johor di Kota Iskandar, sebanyak 2,000 unit dan pada 2026 ini akan terbina 1,000 unit akan diserahkan kunci kepada pemohon yang berjaya. Soalannya, adakah oleh kerana ramai pertambahan penduduk di kawasan Gelang Patah ini, adakah satu klinik baru kesihatan yang akan dibina di Kota Iskandar ni khasnya di kawasan Gelang Patah? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih YB Kota Iskandar. Seperti soalan daripada YB Kota Iskandar, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengenalpasti sebidang tanah di kawasan Kota Iskandar juga yang berhampiran bersebelahan dengan tadi yang projek telah disebutkan oleh Kota Iskandar, yang seluas 15 ekar dan sekarang statusnya pihak pemaju sedang apa ni penghantaran KM dan KM telah diminta untuk buat pindaan, dan mudah-mudahan akan dapat kelulusan oleh pihak PBT. Dan setelah buat KM, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan buat pemilikan tanah tersebut supaya dapat permohonan peruntukan untuk pembinaan klinik kesihatan baharu bagi kawasan Kota Iskandar. Sekian, terima kasih dan lokasinya di Gerbang Nusajaya. Ok, sekian, terima kasih.
Dijemput yang Berhormat Bentayan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 8.
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat kepada kemasukan pelabur asing?
Bismillahirahmnirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan mengajukan soalan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mendapat manfaat kepada kemasukan pelabur asing? Jawapan daripada saya Yang Berhormat Bentayan, terima kasih di atas cakna mengenai nasib usahawan-usahawan mikro, kecil dan sederhana, khususnya dalam aspek limpahan manfaat daripada kemasukan pelabur-pelabur luar ke negeri Johor. Bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Bentayan, suka saya kongsikan kepada semua beberapa stastistik angka supaya semua di dalam Dewan yang mulia mendapat gambaran yang lebih jelas. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sehingga 24 November 2024, seramai 62,977 usahawan mikro kecil dan sederhana yang sudah pun mendaftar di bawah sistem PADU milik Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. Dan mulai tahun 2022 sehingga tahun 2024, Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor sudah pun memperuntukkan sejumlah RM24.12 juta bagi membantu usahawan-usahawan PMKS dan pecahannya adalah seperti berikut. Untuk maklumat Yang Berhormat Bentayan, pada tahun 2022, RM6 juta telah pun disalurkan dan mendapat dibantu sebanyak 1,301 usahawan yang menerima manfaat. Pada tahun 2023, RM9.272 juta yang diberi manfaat kepada 3,428 usahawan dan pada tahun ini sebanyak RM8.85 juta dan angka usahawan yang menerima manfaatnya agak tinggi sebanyak 7,014 orang. Yang Berhormat Datuk Speaker, berbalik kepada persoalan Yang Berhormat Bentayan mengenai impak dan manfaat kemasukan pelabur asing. Contoh paling dekat saya kemukakan ialah penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangkakan memberi limpahan manfaat kepada sektor perusahan kecil dan sederhana (PKS) ini di negeri Johor sekali gus merangsang perkembangan pesat dan menghadirkan kesan berganda terhadap ekonomi setempat. Yang mana rangsangan terhadap sektor PKS menerusi perlaksanaan JS-SEZ juga secara tidak langsung menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih tinggi kepada Bangsa Johor yang berkemahiran di dalam bidang teknologi pembuat mahupun pengeluaran berbanding tenaga kerja. Pada masa yang sama juga komitmen Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) dan juga, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mewujudkan pusat memudahcara pelaburan Malaysia (IMFC) di Johor mencerminkan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap penubuhan JS-SEZ. Dan bagi pihak Kerajaan Negeri Johor melalui Pembangunan Usahawan Negeri Johor, (MPUNJ). Antara langkah-langkah adalah mengemaskini maklumat-maklumat PKS di Johor yang akan diselaraskan agar merentasi agensi utama bagi menyokong sektor iaitu pembuatan, penjagaan kesihatan, logistik, pendidikan, keselamatan makanan, ekonomi digital, pelancongan, tenaga, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan dan ekonomi hijau. Untuk makluman Bentayan juga dan seluruh Ahli Dewan yang mulia ini, menerusi PUJB juga sememangnya berperanan membantu usahawan-usahawan bersedia dalam segala aspek perniagaan menerusi pelbagai inisiatif dan program-program. Antaranya adalah PUJB pemudahcara urusniaga, menyediakan pusat sehenti ataupun One Stop Centre untuk membantu pelabur dan PKS tempatan menjalankan urusan dengan lebih cekap dan tepat dan ia bertepatan dengan pengwujudan pusat pemudahcara pelaburan Malaysia Johor IMFC yang dijangka siap insya-Allah pada tahun hadapan yang akan diuruskan oleh IRDA, MIDA dan Invest Johor. Dan kolaborasi dengan pelabur asing dan PKS atau PMKS adalah dialu-alukan yang mana program pembangunan rantaian bekalan, kerajaan memudahkan pelabur asing bekerjasama dengan PKS tempatan melalui kontrak-kontrak pembekalan ataupun sub kontrak dalam sektor seperti pembuatan, elektronik dan automotif. Program
business matching juga seperti Iskandar Malaysia Aset Business Outlook kita akan menambahbaikkan. Selain daripada itu juga, untuk makluman Bentayan dari segi pemindahan teknologi juga kita harus fikirkan bersama iaitu kita harus menggalakkan pelabur asing untuk melibatkan PKS tempatan dalam proses pemindahan teknologi yang membantu mempertingkatkan keupayaan dan daya saing. Banyak lagi program-program ataupun gerak kerja yang dilakukan oleh Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor dan insya-Allah akan bekerjasama dengan IMFC yang mana banyak lagi iaitu pembangunan modal insan, kerjasama melalui institut pendidikan dan juga insentif kewangan dan sokongan serta promosi dan pasaran. Terima kasih Yang Berhormat Bentayan mengajukan soalan. Itu sahaja jawapan daripada saya Datuk Speaker. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO atas jawapan yang diberi. Saya telah dapati sebahagian daripada pelabur asing dia lebih mengutamakan pembekal daripada negara asalnya berbanding dengan pembekal tempatan. Sebagai satu contoh, saya dapati baru-baru ni kan Johor telah menarik banyakkan pusat data yang beroperasi di negeri Johor. Dan didapati satu pun tak ada daripada pusat data tersebut menggunakan kontraktor pembinaan tempatan, termasuk juru ukur, jurutera ataupun arkitek tempatan tidak terlibat dalam mana-mana projek pembinaan pusat data ini. Jadi apakah langkah ataupun bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk membantukan PKS seperti ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Boleh kongsikan maklumat yang tak ada dapat kontraktor daripada Johor ataupun bahan ukur daripada mana-mana data centre kalau dapat kongsikan bersama saya. Saya rasa ada, untuk makluman Yang Berhormat Bentayan, kontraktor-kontraktor yang digunapakai kebanyakan sub kontraktor adalah datangnya daripada Johor. Mungkin boleh juga saya akan kongsikan melalui jawapan bertulis. Dan juga, insya-Allah, Yang Berhormat Bentayan seperti mana saya katakan tadi, Yang Berhormat Bentayan cakna terhadap usahawan-usahawan local dengan izin, usahawan-usahawan tempatan dan insya-Allah penubuhan IMFC itu dan juga Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor, kami akan duduk berkolabarasi apakah langkah-langkah yang ke hadapan supaya pembekal-pembekal ataupun usahawan-usahawan di negeri Johor ini tidak ketinggalan dalam apa sahaja pembangunan yang akan berlangsung di negeri Johor. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker.
Soalan tambahan ke?
Soalan tambahan.
Ya, sila Parit Yaani.
Mohon Yang Berhormat apa ni, EXCO nyatakan berapa banyak produk usahawan yang berkaitan dengan PMKS ni yang berjaya menembusi pasaran global ataupun pasaran antarabangsa? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading di atas soalan tambahan yang diajukan. Yang Berhormat Sungai Balang, Sri Gading ya, oh Sri Gading, Parit Yaani, Parit Yaani. Terima kasih Parit Yaani atas soalan tambahan ni.
Datuk Speaker, menerusi Market Development Grant ataupun MDG di bawah MATRADE sebanyak 401 syarikat Johor telah pun menerima muafaat sehingga 30 Oktober 2024. Dan untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, geran pembangunan MDG ini yang
diperkenalkan sejak 2002 lagi merupakan satu inisiatif kerajaan membantu syarikat dan organisasi tempatan menembusi pasaran antarabangsa dan menggalakkan juga penyertaan di dalam aktiviti promosi eksport.
Melalui MDG juga pemberian geran secara bayaran balik sehingga RM300,000.00 diberikan kepada kumpulan-kumpulan sasar bagi menampung sebahagian kos perbelanjaan di dalam penyertaan aktiviti-aktiviti promosi eksport dan juga MDG menyasarkan untuk PKS, persatuan, perdagangan dan juga industri, dewan perniagaan, penyediaan perkhidmatan profesional, koperasi serta profesional. Selain itu juga, mengikut rekod Perbadanan Usahawan Johor, berdasarkan soalan daripada Yang Berhormat Parit Yaani, penyertaan usahawan ke MIHAS pada tahun 2024, telah berjaya memperolehi potensi jualan menerusi padanan perniagaan berjumlah RM1.2 juta yang melibatkan 11 usahawan-usahawan tempatan datangnya daripada Johor dan antara syarikat-syarikat tersebut adalah Perusahaan Emas Sdn. Bhd., Future Food Sdn. Bhd. Maiz Enterprise Sdn. Bhd., Mamas, M&M (M) Sdn. Bhd. dan perniagaan makanan serta kicap ataupun JALEN Sdn. Bhd. Itu sahaja jawapan daripada saya, Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 9. Terima kasih.
Apakah Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk menaikkan jumlah bantuan am JKM negeri Johor daripada RM300 kepada RM500?
Dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor 10. Terima kasih.
Memandangkan Kerajaan Persekutuan akan menambah RM100 kepada penerima bantuan warga emas JKM pada tahun 2025, adakah terdapat peningkatan kadar bantuan am JKM negeri Johor pada tahun 2022 sehingga 2024?
Dijemput Yang Berhormat Mengkibol.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Mengkibol soalan 11. Terima kasih.
Dalam Belanjawan Malaysia 2025, kadar bantuan kepada warga emas, kanak-kanak telah ditingkatkan. Bolehkah Kerajaan Negeri meningkatkan kadar Bantuan Am di bawah kerajaan negeri dari RM300 kepada RM500?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Senggarang, Tangkak dan Mengkibol.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab soalan ini bersekali dan soalan yang Ahli-Ahli Yang Berhormat bertanyakan adalah tentang permohonan kenaikan jumlah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, bantuan am iaitu daripada RM300.00 ke RM500.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa menyantuni rakyat yang memerlukan dengan melihat kepada peningkatan taraf hidup semasa. Penyaluran bantuan kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta setiap kelompok masyarakat disantuni dengan sebaiknya mengikut
keperluan. Kajian turut dilaksanakan bagi memastikan syarat kelayakan serta pemberian kadar bantuan bulanan diberikan memenuhi keperluan masyarakat.
Datuk Speaker, berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Bantuan Warga Emas JKM dinaikkan kadar daripada RM500.00 kepada RM600.00 sebulan. Kerajaan Negeri Johor juga melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan bantuan bulanan kepada penerima bantuan dengan menggunakan peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan kewangan Kerajaan Negeri. Bagi agihan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri, penyaluran bantuan kepada pemohon yang layak akan mendapat bantuan am secara bulanan dalam tempoh setahun selepas kelulusan permohonan dan perlu membuat permohonan lanjutan untuk siasatan Pegawai JKM bagi lanjutan bantuan.
Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun 2021, kenaikan kadar bantuan telah dilaksanakan dengan kadar jumlah bantuan am dinaikkan daripada RM200.00 sebulan kepada RM300.00 sebulan. Kadar ini masih digunapakai oleh JKM dan berkuat kuasa sehingga hari ini. Untuk tahun 2021, sebanyak RM18,782,400.00. Tahun 2022, RM23,371,800.00. Untuk tahun 2023, RM23,254,800.00 dan sehingga Oktober 2024, RM16,600,545.15. Jumlah keseluruhannya adalah RM82,900,545.15. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, jemput Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan dari Tangkak adalah boleh tak Yang Berhormat EXCO kalau boleh kongsikan jumlah penerima-penerima Bantuan Am JKM Negeri Johor sehingga Oktober tahun ini, terutamanya bagi daerah Tangkak. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, penerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor bagi daerah Tangkak mulai Januari hingga Oktober 2024 adalah seperti berikut:-Untuk Januari sebanyak RM133,800.00; untuk Februari, RM129,000.00; untuk Mac, RM127,200.00; untuk April, RM107,700.00; untuk Mei, RM119,100.00; untuk Jun, RM116,400.00; Julai RM116,400.00; Ogos, RM113,100.00; September, RM109,800.00; untuk Oktober RM107,700.00. Jumlah keseluruhan untuk Tangkak adalah RM1,180,200.00. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, jemput Mengkibol
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, mengikut Jabatan Statistik, warga emas pada suku kedua tahun 2024, telah menjelang 3.9 juta penduduk atau 11.6 peratus. Soalan saya berkaitan dengan Bantuan Warga Emas, disebabkan kita akan berhadapan dengan penuaan atau aging society pada tahun 2030, jadi adakah kerajaan boleh mempertimbangkan menambah PAWE ataupun Pusat Aktiviti Warga Emas disebabkan sekarang cuma setiap daerah ada satu PAWE, di salah satu kaedah mungkin adalah public private partnership, di mana kerajaan boleh membekalkan premis dan kami boleh membantu mencari dana untuk aktiviti ataupun penubuhan PAWE yang baru seperti dalam Dewan Negeri Selangor yang baru diumumkan mereka memberikan peruntukan geran penubuhan dua lagi pusat PAWE. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Mengkibol. Menjawab soalan Mengkibol adalah kerajaan mengambil langkah pro-aktif dengan mewujudkan satu inisiatif baru untuk melaksanakan bagi tahun 2015 iaitu Program Pemerkasaan Warga Emas atau PAWE@3A dengan izin, bagi tujuan memperkasakan warga emas dalam komuniti. Sebagaimana yang tadi, Yang Berhormat Mengkibol katakan tentang dengan izin, Public Private Partnership. Program ini
dilaksanakan oleh Pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi melaksanakan program atau aktiviti pemerkasaan warga emas dan masyarakat tanpa terikat kepada mana-mana pusat atau premis tertentu boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, dengan izin, anytime, di mana-mana tempat, anywhere, di mana-mana masa, dan di mana tempat dan di mana-mana tempat, anywhere, anyplace, YB. Jadi, konsep 3A ini any time, any where, any place dengan izin dicetuskan bagi memberi ruang dan peluang kepada semua Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) untuk menjalankan program atau aktiviti pemerkasaan warga emas dalam lokaliti masing-masing secara lebih fleksibel tanpa terikat pada premis atau waktu tertentu, terutama di kawasan yang mempunyai populasi warga emas dan diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada warga emas bagi menjalankan aktiviti bersama komuniti dengan menekankan elemen program berteraskan komuniti, inter-generasi dan interaktif. Oleh itu, bagi pihak kerajaan, usaha untuk memantapkan peranan aktif PAWE dalam komuniti sebenarnya sangat memerlukan komitmen pertubuhan, komuniti dan kerjasama pelbagai pihak dari semua peringkat. Terima kasih Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, jika sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Saya tangguhkan persidangan ini selama 20 minit dan kita masuk balik jam 11.20 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11.20 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024.Bill
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor. Perbahasan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Bismillahirahmannirrahim. (Bacaan selawat). Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua dapat kita bersama-sama hadir dalam sesi perbahasan Belanjawan Johor 2025 pada hari ini.
Marilah kita turut sama-sama melafazkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pemimpin agung yang sentiasa menjadi pedoman dan teladan buat kita sehingga ke akhir zaman. Sebelum meneruskan bicara, izinkan patik terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu.
Ucapan tahniah juga di atas usaha baik Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri kerana berjaya memungut hasil tertinggi mencecah sehingga RM2 bilion menjelang suku keempat tahun 2024 ini. Semoga dengan bertambahnya pendapatan hasil negeri ini Johor akan terus maju dan makmur di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat. Kita pantun sikit. Berkejar-kejaran ombak di laut, menyentuh pantai pepasir bersih; budi tuan disebut-sebut, kerja selesai terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemanis amat mengalu-alukan penubuhan Pusat Aduan Bersepadu Johor. Ia dilihat amat bertepatan seiring dengan pengumuman untuk
penjawat awam yang akan menerima kenaikan gaji sebanyak 8 peratus mulai 1 Disember 2024 ini dan seterusnya kenaikan 7 peratus lagi mulai Januari 2026 dan tambahan pula bonus kecemerlangan dua bulan. Semoga dengan semua ini, kecekapan mutu dan perkhidmatan penjawat awam setimpal dengan kenaikan yang diumumkan oleh kerajaan. Justeru, apabila Pusat Aduan Bersepadu Johor ini beroperasi kelak, ia diharap dapat menyampaikan isu dan permasalahan berkaitan dengan rakyat terus kepada pihak yang bertanggungjawab menjaganya dan bukanlah asyik semborono menyalahkan wakil-wakil rakyat saja. Cuma Pemanis ingin bertanya, adakah Pusat Aduan ini nanti akan diwujudkan juga di setiap daerah? Adakah ada tempoh masa penyelesaian yang akan diberikan? Cuma contoh bila aduan itu sampai dia akan diselesaikan contohnya dalam masa 14 hari, dalam masa 2 bulan atau pun masa yang diberikan oleh jabatan yang berkaitan. Jika ianya melibatkan aduan di peringkat pusat atau pun kerajaan persekutuan, bagaimana caranya? Apakah ianya boleh diselesaikan? Atau hanya kita boleh memanjangkan sahaja isu tersebut kepada pihak persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, 2 minggu lepas daerah Segamat mendapat amaran awal sebagai persediaan untuk menghadapi banjir akibat cuaca yang semakin tidak menentu dan perubahan iklim yang semakin ekstrem. Seminggu sebelum itu, kejadian hujan lebat beserta angin kuat. Yang Berhormat Datuk, tidak sampai 15 minit merosakkan hampir 70 buah rumah di sekitar kampung dan taman-taman dalam mukim Sungai Segamat. Bencana seperti ini sering dilihat kerap berlaku, pada waktu yang kita memang tidak jangka. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama jabatan-jabatan kerajaan seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam yang segera membantu mangsa kejadian dan juga agensi-agensi kerajaan seperti JKM, Majlis Agama Islam Johor hadir menyerahkan bantuan. Namun, sewajarnya beberapa perkara melibatkan dasar dan prosedur kewangan di peringkat jabatan dan agensi berkaitan terutamanya melibatkan urusan bantuan kecemasan melibatkan bencana haruslah diperkemas demi mempermudah dan melicinkan usaha membantu mereka yang terkesan akibat bencana seperti ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Tabung Bencana Negeri sebanyak RM2 juta tahun hadapan. Cuma nak mintalah jasa baik dasar pemberian bantuan, kerajaan negeri dah bagus dah beri RM2 juta ini. Melalui NADMA ini diperhalusi semula supaya syarat-syarat pemberian bantuan kepada mangsa bencana antaranya menetapkan semua mangsa mestilah berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk layak mendapat bantuan mereka. Jika kejadian bencana banjir, mungkin iya lah. Tapi, jika kejadian seperti ribut, yang kerosakannya mungkin kadang-kadang di bahagian dapur aja, atau pun di setengah-setengah dalam kawasan dalam bilik, dalam rumah tersebut. Tidak perlulah mereka tinggalkan rumah, untuk pindah ke PPS. Dan kes seperti ini tidak melayakkan mereka untuk menerima bantuan daripada NADMA. Dan jika kejadian ribut itu kurang pula dari 10 buah rumah, pun tidak dikategorikan layak untuk dapat bantuan daripada NADMA. Betullah, kita ada agensi seperti JKM, kita ada agensi seperti MAINJ, namun kalau kerosakan itu teruk, banyak yang nak kena repair atau pun nak kita perbaiki memang kita perlukan bantuan-bantuan terutamanya daripada NADMA ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Saya amat memahami sebenarnya kekangan kewangan kerajaan terutamanya untuk membantu mereka yang dalam kesempitan dan juga kekurangan pendapatan. Malah Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa PBT di Johor mengalami defisit pendapatan. Boleh semak penyata kewangan yang dihantar kepada Dewan. Saya suka juga baca penyata-penyata yang dihantar kepada kami ini, PBT-PBT. Ada yang tidak cukup duit untuk mengurus kewangan mereka untuk membayar emolumen pekerja pun kadang-kadang tidak cukup. Bila naikkan kadar cukai harta, rakyat rasa terbeban dan tidak selesa. Cukai harta naik, rakyat akan marah. Buat penguatkuasaan dan kutipan denda dikatakan PBT itu rakus dan tidak bertimbang rasa pula. Justeru saya nak cadangkan, tahun lepas pun saya ada sebut benda ini, agar semua PBT yang ada dalam negeri Johor ini melaksanakan segera Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon, atau pun PTMRK 2030 seperti 2 PBT
sahaja yang dah buat ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, PBT Segamat dan juga PBT daripada Iskandar Puteri.
Ini penting kerana jika semua PBT dapat melaksanakan ia secara tidak langsung, kita dah boleh ukur dah, tahap pengeluaran karbon dan industri mana yang banyak mengeluarkan karbon dalam daerah kita. Soalan saya, bila agaknya Kerajaan Negeri nak laksanakan Rang Undang-Undang Alam Sekitar, atau pun Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau melibatkan pengurusan pengeluaran karbon di mana semua industri termasuk kilang-kilang yang ada di negeri Johor ini, kita sukat jumlah pengeluaran karbon mereka, kita kenakan caj pengeluaran karbon melalui PBT setempat? Bila PBT boleh caj, PBT akan dapat pendapatan. Saya dimaklumkan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ada kepakaran daripada teknologis tempatan daripada UTM boleh mengukur kadar pengeluaran karbon. Ini secara tidak langsung memberi peluang untuk PBT menambah pendapatan dan rakyat melihat industri yang ada di Johor ini turut sama menanggung kos dan akibat daripada kejadian dan bencana-bencana yang berlaku di Johor ini akibat daripada perubahan iklim.
Itu cerita PBT. Kami di peringkat ADUN-ADUN ini pun sehingga ke hari ini sebenarnya masih lagi menanti peruntukan daripada ICU bagi menampung permintaan rakyat di kawasan kami. Biasanya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tiap tahun ini kita akan dapatlah, paling-paling pun RM200,000.00, RM300,000.00 kan peruntukan daripada ICU. Tapi kali ini tidak ada. Tunggu-tunggu ini, dah sampai hujung dah ini tak dapat. Malah ada di kalangan kami ini tidak dah umum pula, nak bagi RM2,000.00, RM3,000.00, RM5,000.00 daripada peruntukan itu tapi tak dapat. Saya tidak pasti kenapa? Apa masalahnya? Yang ini saya mintalah daripada kerajaan pusat untuk kembali melihat keperluan daripada ADUN-ADUN yang ada terutama dalam negeri Johor ini untuk dibantu.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Pemangku Sultan Johor di dalam Program Johor Youth Meets Up pun ada menyentuh berkenaan agar kerajaan pusat mempertimbangkan untuk memberi balik 20 peratus hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Johor. Saya bimbang sebab bila kami yang RM200,000.00, RM300,000.00 pun kita tidak dapat, ini permintaan daripada Pemangku Sultan ini, 20 peratus hingga 30 peratus. Kalau tidak dapat 20 peratus hingga 30 peratus, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, 10 peratus pun saya ingat memadailah dipulangkan semula hasil daripada kerajaan pusat kutip daripada Kerajaan Negeri Johor ini diberikan semula kepada kita. Saya ingat kalau ini dapat diberikan, kata orang itu, ada setengah-setengah perkara kita menang, mungkin ada setengah-setengah perkara kita kalah, tapi janganlah nampak kita kalah sangat, lengit macam itu.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, itu cerita tentang pendapatanlah. Saya ingin menyorot beberapa kes pembinaan kilang tanpa kebenaran di kawasan DUN Pemanis. Ha, yang ini saya nak sentuh sikit pasal dalam kawasan DUN sebab kat atas sana tu ada kawan-kawan daripada DUN Pemanis, Datuk Timbalan Speaker. Apa yang menyedihkan pihak syarikat atau individu yang membeli tanah di kawasan-kawasan kampung ini, harganya dah lah murah, dia buka untuk laksanakan operasi kilang kat sebelah rumah orang kampung pula itu secara tanpa izin. Kemudian, senyap-senyap dia lakukan pembakaran terbuka sehingga mengakibatkan pencemaran bau. Dia guna pakai sistem elektrik, dia ambil bekalan air kita di kawasan-kawsan kampung ini sehingga menyebabkan sering berlaku gangguan bekalan. Merosakkan laluan jalan kampung dengan laluan kenderaan berat pelbagai saiz mereka. Iyalah, bila ada kilang kayu dalam itu, lori kayu akan masuk dan standard jalan kampung, mana ada lori-lori besar boleh lalu, rosak jalan. Dan bila laporan kita buat kepada pihak PBT untuk ambil tindakan, PBT kata ini dalam kawasan kampung tidak boleh nak ambil tindakan. Minta Jabatan Alam Sekitar untuk ambil tindakan. Jabatan Alam Sekitar pun kata tak boleh nak ambil tindakan sebab lesen tidak ada daripada PBT. Dan apa yang menyedihkan, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kilang-kilang ini dah beroperasi lebih daripada 10 tahun. Siapa yang rugi? Kerajaan rugi. Mungkin kalau dapat kutip cukai-cukai daripada kilang-kilang haram ini kalau sekarang dapat RM2 bilion, mungkin
boleh cecah RM3 bilion. Kerajaan rugi sebab tidak dapat kutip cukai. Penduduk pula terpaksa hadap bermacam jenis pencemaran. Saya minta kerajaan patut lihat semula kes-kes seperti ini yang saya rasa bukan hanya berlaku dalam kawasan DUN saya tetapi di tempat-tempat lain juga.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita dah boleh mula dah dengan Pejabat Tanah untuk melihat semula status tanah yang mereka beli. Dan bagaimana mereka-mereka ini boleh memiliki kilang jika mereka tidak ada kebenaran tukar status tanah pertanian, tanah kampung kepada tanah industri diberikan kepada mereka. Adakah sebarang undang-undang yang boleh diambil untuk dijadikan pengajaran? Dan sewajarnya jika ada kawasan industri di kawasan berkenaan, kita minta pindah ke kawasan-kawasan industri yang sedia ada ini. Kalau rasanya jauh, mereka ada halangan, kita minta mereka tengok semula kawasan-kawasan industri tersebut. Dan di kawasan DUN Pemanis, saya lihat kawasan-kawasan kilang haram ini saya lihat kita memang ada, kawasan yang PBT dah gazet kan pun untuk mereka pindah. Jadi ini kena ada tindakan keras daripada pihak-pihak yang berkaitan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam pembentangan Belanjawan minggu lepas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada menyentuh tentang Program Jelajah Desa Johor ke semua kampung, Orang Asli dan juga kawasan FELDA. Seingat sayalah, kalau sebelum ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar pernah memberi RM5,000.00 kepada NGO dalam kawasan FELDA tapi kini dikatakan untuk manfaat itu dirasai bersama program yang sepatutnya diberikan kepada NGO ini diberikan kepada semua untuk dirasai oleh penduduk di dalam kawasan FELDA. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana masih melihat keperluan menjaga kawasan dalam FELDA.
Turut diumumkan sama ialah insentif sebanyak RM18 juta untuk kerja-kerja infra di kawasan-kawasan perumahan generasi kedua FELDA. Walau pun hanya lima rancangan menjadi tumpuan, usaha kerajaan ini dilihat dapat membantu menyelesaikan permasalahan berkaitan infra dan kos pembinaan jalan di kawasan perumahan generasi baharu ini. Cuma saya nak mintalah wakil daripada FELDA, kalau dapat peruntukan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM18 juta ini, sebenarnya tidak cukup, memang tidak cukup. Kita boleh sebenarnya di bawah FELDA ini di bawah Jabatan Perdana Menteri, apalah salah dan kiranya kita boleh minta bantuan tambahan untuk diagih-agihkan peruntukan tersebut ke negeri-negeri termasuklah ke negeri Johor daripada peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri tersebut.
Untuk makluman Dewan juga, saya ucap terima kasihlah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya melaksanakan dua kali mesyuarat bersama agensi FELDA dan jabatan-jabatan serta agensi negeri bagi mengatasi isu dan permasalahan berkaitan dengan generasi baru FELDA. Isu permohonan dan pemilikan tanah dikemaskini statusnya setiap kali perjumpaan dan isu-isu lain diperbincangkan demi memastikan dia dapat diselesaikan pada setiap peringkat. Cuma nak tanya adakah dengan peruntukkan RM700,000.00 untuk memanfaatkan Teknologi AI bagi urusan berkaitan perumahan bolehkah dapat digembeling sama kepakarannya dengan pihak FELDA bagi mempercepatkan proses urus, mengurus, menyaring dan meluluskan dengan kadar segera. Semua permohonan-permohonan terutamanya permohonan melibatkan tanah yang tertangguh selama ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pengumuman kerajaan untuk menaikan elaun 100 peratus sebanyak RM18.1 juta kepada semua pegawai masjid dan surau amatlah terbaik. Namun, apa yang diharapkan ialah pembayaran tersebut dapatlah kiranya dibayar setiap bulan dan janganlah bayar 3, 6 bulan baru nak bayar elaunnya. Saya dapat aduan daripada mereka soal pembayaran ni sebenarnya bukanlah besar sangat pun, namun bila elaun imam dan bilal ini boleh dibayar oleh JAKIM setiap bulan jadi mereka mintalah kalau boleh elaun negeri ni pun masukanlah juga, kita boleh janganlah tangguh-tangguh sampai ke 2, 3 bulan kan, masukan juga tiap-tiap bulan.
Kita kan dah pakai AI lah, teknologi macam-macam ni kan, jadi urusan-urusan kecil macam ni melibatkan hal agama ini kita jangan remeh dan juga dilambatkan. Saya tak pasti apakah permasalahannya berkaitan dengan laporan daripada pengerak masjid dan surau atau ada dikalangan mereka ni tidak berdaftar dan hadir temuduga lantikan daripada Pejabat Agama. Apa pun saya percaya dengan ketegasan dan amalan tatakelola dan tadbir urus yang baik perkara ini boleh di selesaikan apatah lagi dengan insentif one off lagi, RM500.00 kepada mereka menjelang Mac tahun depan, diharap dapat memabantu meningkatkan motivasi mereka menjaga institusi masjid dan surau di negeri ini. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, itu hal masjid dan surau. Saban tahun juga setiap kali ada pengumuman sekolah agama yang baru bila dibentang Sekolah Agama Kampung Tengah masih lagi tak nampak muncul bajet. Entah di mana kedudukannya dalam senarai keutamaan Kerajaan Negeri dah lama bebenor mereka menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Tengah tu, sesekali ada juga kedengaran rungutan daripada pihak sekolah kebangsaan, ialah dah berkongsi kemudahan YB Datuk Speaker, macam berkongsi suami jugalah citernya kan. Bila kongsi-kongsi ni ada aje bunyi-bunyi kan. Dan, 3 minggu lepas bila berlaku bencana ribut melanda kawasan sekolah rendah kebangsaan tersebut budak-budak sekolah agama ini kena cuti, sama juga dengan banjir pun terjejas jugak. Untuk makluman Dewan, Sekolah Kebangsaan Rendah Kampung Tengah ni memang terletak dalam laluan kawasan air banjir dan juga kawasan angin, malang betullah. Justeru saya sekali lagi menyeru kepada kerajaan negeri untuk tahun 2026 masukanlah keperluan menyiapkan Sekolah Agama Kampung Tengah ni, tanah pun dah ada. Kalau siap pun nanti sekolah ni dia juga boleh membantu untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara terutamanya penduduk taman yang terlibat dengan banjir. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam merakyatkan seni budaya Johor, yang ini penting ni, belanjawan kali ini meletakkan nilai RM810,000.00 untuk dilaksanakan bagi membolehkan Bangsa Johor dan pelancong yang datang menikmati persembahan kebudayaan Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar. Peruntukan RM1 juta untuk Festival Zapin Rakyat Johor bagi mengekal dan mengembangkan seni tarian zapin kepada segenap lapisan Bangsa Johor melalui penglibatan kumpulan sasar, bagus ni mula daripada pra sekolah, sekolah rendah, menengah, golongan belia dan juga dewasa. Ini memang baik. Saya cuma ingin sarankan agar peranan Majlis Kebudayaan Negeri Johor diletakkan untuk mengendali dan mengurus festival ini memandangkan badan-badan gabungan yang ada dalam Majlis Kebudayaan Negeri Johor ini berada di setiap daerah dan juga pertubuhan-pertubuhan yang banyak bernaung di bawah mereka. Dan kalau sukan Yang Berhormat Datuk Speaker, ni MB pun ada ni, sukan kita ada sukan Bangsa Johor. Apa salahnya kalau kita nak perkasakan budaya kita pulak, kita buat juga budaya Bangsa Johor. Kita adakan pertandingan di setiap DUN. Ada banyak budaya Johor semakin terhakis, kita boleh segarkan semula, contoh kompang Johor, busana Johor, seni jahitan tulang belut, muzik ghazal dan tarian zapin agar seni budaya warisan Johor akan terus berkembang seiring dengan pembangunan dalam negeri Johor ini. (Dewan bertepuk). Ini penting Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita nak menghadap Melawat Tahun Johor 2026.
Pemanis sila gulung.
Oh, nak kena gulung eh. Banyak lagi ni Datuk Timbalan Speaker. Lepas tu kalau budaya ini kita tak dapat terapkan dalam tahun 2026 itu rugi untuk kita laksanakan.
Dah 20 minit eh. Sikitlah Datuk Speaker, Datuk terima kasih sikit aje. Saya nak sentuh juga tentang ETS. Di Segamat, daerah Segamat ini laluan berkembar ni dah mula siap, saya ingat dah banyak dah, sampai ke Labis, sampai ke Kluang semua laluan ini dah makin siap. Stesen keretapi pun dah mula ada, cuma apa yang menjadi persoalan kami ialah bila agaknya kerajaan pusat melalui Kementerian Pengangkutan nak laksanakan laluan masuk ke negeri Johor ini. Alasan dia
Datuk Timbalan Speaker daripada kerajaan pusat bila saya dengar mereka maklumkan train tak cukup, train tempah tak siap lagi, macam tak logik alasan itu, kan sedangkan laluan dah ada, kemudahan pun ada, stesen pun dah siap, dah lawa dah, tapi keretapi ETS tu tak sampai lagi. Saya tak tahulah kalau agaknya sistem ETS keretapi ini dia nak tunggu 2026 Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, baru dia nak masuk Johor. Kalau masa tu dah lambatlah. Patutnya tahun depan ni tahun 2025 ni kita harap train yang tambahan itu boleh masuk dalam Negeri Johor dan beroperasi dan mungkin bukan sampai Segamat terus sampai ke Johor Bahru. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker saya ingat banyak lagi nak sentuh ni, tapi tak apalah saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih di atas peluang yang telah diberikan kepada Pemanis untuk berbahas sama pada pagi. Akhir kalam didoakan semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita semua dalam memastikan amanah dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik. Sekian wabilahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, Pemanis mohon menyokong rundingan belanjawan 2025 ini.
Terima kasih Pemanis. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada DUN kawasan Pemanis seramai 20 orang, sila bangun. Harap ucapan Yang Berhormat Pemanis memenuhi aspirasi mereka. Ahli Yang Berhormat dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker atas ruangan dan peluang yang diberi kepada Tangkak dalam menyertai perbahasan atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024. Sebelum bermula perbahasan Tangkak, izinkan patik merakamkan ucapan selamat hari ulang tahun keputeraan kepada ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang jatuh pada tanggal 22 November lalu. Tangkak juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada 21 November yang lalu dan tidak lupa ucapan terima kasih kepada pegawai-pegawai kanan dan kakitangan-kakitangan kerajaan yang telah bertungkus lumus dalam membantu menyediakan belanjawan untuk tahun depan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor telah mengumumkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor dan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke Johor pada Belanjawan Johor 2024 pada tahun lepas. Tahun Melawat Johor 2026 membuka peluang besar kepada Johor untuk mengukuhkan sektor pelancongan. Namun, untuk menjayakan agenda ini kelemahan-kelemahan tertentu perlu dikenalpasti dan ditangani secara strategik. Walaupun Kerajaan Johor telah mengambil berbagai langkah sejak awal tahun ini namun sokongan tambahan diperlukan daripada pihak Kerajaan Persekutuan dan berbagai agensi untuk memastikan kejayaan kempen ini. Pertama, peningkatan infrastruktur dan aksesibiliti. Kerajaan Johor telah memperuntukkan sejumlah besar dana bagi pembangunan infrastruktur pelancongan pada tahun ini dan juga dicadangkan projek-projek pembangunan pada tahun depan. Seperti menaiktaraf kemudahan di taman-taman negara, termasuk Taman Negara Gunung Ledang, pantai-pantai di Pantai Air Papan. Kita ada projek naik taraf Zoo Johor ada taman-taman eko rimba, membina perkampungan serambi, mercu-mercu tanda dan menganjurkan acara-acara bertaraf antarabangsa. Namun, terdapat keperluan untuk Kerajaan Johor memohon dana tambahan dari persekutuan bagi memperluaskan jaringan pengangkutan awam termasuk sambungan keretapi antara bandar dan juga bas ekspress ke destinasi pelancongan utama. Harap pihak persekutuan boleh menyediakan geran khas untuk mempercepatkan projek-projek ini.
Pelaksanaan aplikasi pintar pelancongan memerlukan juga sokongan teknikal dan kewangan daripada agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation dengan izin (MDEC). Kerajaan Johor boleh meminta kerjasama persekutuan untuk merealisasikan platform digital yang mesra pengguna dan interaktif. Kedua, pengalaman pelancongan yang lebih bermakna. Bagi meningkatkan pengalaman pelancongan Johor memerlukan bantuan persekutuan untuk menyokong program-program latihan untuk pemandu pelancong dan mendapat peruntukkan tambahan bagi modul-modul kursus seperti kursus berbagai bahasa dan pelancongan mesra orang selain upaya (OKU). Penyediaan teknologi canggih seperti memperkenalkan lawatan maya menggunakan realiti tambahan AR dan reality maya VR, kerjasama dengan kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diperlukan. Dana tambahan akan memastikan teknologi ini dapat diaksess dengan kos yang rendah. Ketiga, promosi yang lebih agresif. Persekutuan perlu bantu Johor dalam aspek berikut:-1. Kempen antarabangsa. Dengan kempen global yang dirancang, Johor memerlukan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MOTAC untuk memperhebatkan lagi promosi di luar negara. Penganjuran pameran pelancongan di Pusat Antarabangsa seperti Eropah dan Timur Tengah memerlukan kolabarasi dan dana tambahan.
2. Pakej insentif. Insentif untuk penganjuran forum, konvensyen dan seminar oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan NGO di Johor pada tahun 2026 boleh diperkenalkan oleh pihak persekutuan bagi menggalakkan lebih ramai pelawat tempatan dan antarabangsa.
3. Kelestrarian alam sekitar. Sementara Johor giat dalam menyediakan infrastruktur untuk Tahun Melawat Johor 2026 kita harus memastikan pembangunan pelancongan tidak menjejaskan alam sekitar. Untuk itu kerajaan negeri boleh memohon bantuan teknikal dan kewangan daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan agensi berkaitan untuk projek pemulihan alam sekitar. Bantuan diperlukan juga untuk memperkenalkan trek berbasikal dan homestay mesra alam sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan lestari.
4. Penyertaan komuniti setempat. Tangkak juga menekankan penglibatan komuniti sebagai kunci keyaaan Tahun Melawat Johor 2026. Sokongan tambahan diperlukan dalam dua bentuk.
i. Dana mikro untuk usahawan tempatan. Memohon skim pembiayaan mikro khas daripada persekutuan untuk menyokong usahawan kecil dan menghasilkan produk pelancongan seperti kraf tangan dan makanan tradisional di Johor.
ii. Program kesedaran masyarakat. Sokongan Kementerian Komunikasi diperlukan untuk menjalankan program kesedaran di media masa. Menunjukkan kepentingan Tahun Melawat Johor 2026 kepada komuniti tempatan. Kesimpulannya kesediaan Johor untuk Tahun Melawat Johor 2026 adalah usaha besar yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik kelemahan dan kekurangan ini akan memastikan Tahun Melawat Johor 2026 menjadi kempen yang berjaya, menjana ekonomi negara, negeri dan meletakkan Johor sebagai destinasi utama di peta pelancongan dunia. Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuhkan sektor pelancongan Johor tetapi juga meningkatkan kesejahteraan rakyat menjadikan Tahun Melawat Johor 2026 sebuah kejayaan bersama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, patik menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta restu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi perlaksanaan cuti hujung minggu Johor pada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. Sejak kebelakangan ini, perbincangan mengenai hari rehat rasmi Johor kembali mendapat perhatian terutama cadangan untuk menukar hari rehat dari Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad seperti kebanyakan negeri lain di Malaysia. Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bertanggungjawab terhadap pendidikan, komunikasi dan maklumat pernah mendedahkan di Dewan yang mulia ini bahawa kadar ponteng sekolah pada hari Ahad di kalangan pelajar Johor adalah sangat tinggi terutama semasa hujung minggu panjang atau cuti umum. Berdasarkan isu ini serta keperluan pendidikan, ekonomi dan sosial Tangkak mengalu-alukan penukaran hari rehat kepada Sabtu dan Ahad.
Pertama sekali, isu ponteng sekolah memberi kesan besar kepada kualiti pendidikan. Oleh kerana ibu bapa menikmati hujung minggu panjang pada hari Sabtu, tetapi pelajar perlu ke sekolah pada hari Ahad, ramai pelajar memilih untuk ponteng sekolah. Masalah ini semakin serius selepas pandemik COVID-19. Guru-guru juga melaporkan bahawa kadar ponteng yang tinggi memberi kesan kepada prestasi pelajar dan keberkesanan pengajaran. Jika hari rehat ditukar kepada Sabtu dan Ahad, masa rehat ibu bapa dan pelajar akan selaras, sekaligus mengurangkan kadar ponteng dan meningkatkan kualiti pendidikan.
Kedua, menyelaraskan hari rehat Johor dengan negeri lain di Malaysia akan memudahkan urusan pentadbiran dan ekonomi. Pada masa ini, ketidaksamaan hari rehat di Johor sering menyebabkan kesukaran dalam kerjasama antara negeri dan pengurusan perniagaan rentas sempadan. Sebagai contoh, apabila Johor bercuti pada hari Ahad, hari Jumaat, maaf, kebanyakan negeri lain serta kerajaan persekutuan masih beroperasi. Menyebabkan kelewatan dalam urusan kerajaan yang merentas negeri. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai hubungan erat dengan Singapura dan ekonomi global, menukar hari rehat kepada Sabtu dan Ahad dapat meningkatkan kerjasama perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi di Johor. Selain itu Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat lebih sesuai untuk penyelarasan kehidupan keluarga. Hari rehat yang seragam membolehkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama pada hujung minggu tanpa gangguan daripada jadual yang berbeza. Tambahan pula, sokongan rakyat terhadap perubahan ini amat jelas.
Pada tahun 2016, satu tinjauan pendapat yang dijalankan di Johor mendapati 95.7 peratus responden bersetuju agar hari rehat ditukar kepada Sabtu dan Ahad. Selain itu, satu petisyen atas talian telah mengumpulkan lebih 50,000 tandatangan yang menyokong perubahan ini. Sokongan rakyat menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk di Johor mahukan penyelarasan hari cuti dengan negeri lain demi memudahkan urusan harian serta memperkukuhkan keharmonian keluarga dan masyarakat. Sejarah menunjukkan bahawa Johor telah beberapa kali menukar hari rehat. Pada 1960-an Johor menetapkan Jumaat dan Sabtu sebagai hari rehat. Pada tahun 1994 pula ditukar kepada Sabtu dan Ahad. Jadi, menukar hari rehat Johor kepada Sabtu dan Ahad bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah ponteng sekolah dan meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga dapat menyokong perkembangan ekonomi, meningkatkan kecekapan pentadbiran serta menyelaraskan masa keluarga. Perubahan ini sejajar dengan aspirasi majoriti rakyat dan memberi manfaat jangka panjang kepada Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rumah ibadat selain Islam memainkan peranan penting dalam kehidupan penganut agama masing-masing. Bukan hanya sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang menyokong aktiviti sosial, kebudayaan, kebajikan dan pendidikan. Walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang timbul apabila rumah ibadat ini didirikan di kawasan perumahan atau komersial tanpa kelulusan atau pematuhan sepenuhnya kepada peraturan tanah dan pembangunan. Oleh itu, proses pemutihan rumah ibadat selain Islam menjadi satu langkah penting untuk menyelesaikan isu ini secara harmoni dan berkesan. Proses pemutihan rumah ibadat melibatkan pengesahan status
tanah, kelulusan struktur dan pengiktirafan rasmi oleh pihak berkuasa. Ini bertujuan untuk memastikan rumah ibadat beroperasi secara sah dan tidak mengganggu keharmonian masyarakat. Seringkali rumah ibadat didirikan di atas tanah yang tidak diperuntukkan untuk tujuan itu. Contohnya sesetengah rumah ibadat mungkin terletak di atas tanah yang syarat kegunaannya sebagai tanah perumahan, tanah pertanian atau pun tanah komersial. Dalam situasi seperti ini, perubahan syarat tanah menjadi keperluan untuk memastikan rumah ibadat dapat berfungsi secara sah tanpa halangan undang-undang. Pemutihan rumah ibadat bukanlah satu proses yang mudah. Terdapat beberapa cabaran utama yang perlu kita atasi termasuk :
1. Kekangan undang-undang dan peraturan. Akta dan Peraturan tanah di Malaysia sering kali menghalang penggunaan tanah perumahan, tanah pertanian dan tanah komersial untuk tujuan keagamaan. Perubahan syarat tanah memerlukan proses yang panjang dan melibatkan pelbagai agensi termasuk pejabat tanah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri.
2. Sensitiviti sosial dan agama. Penempatan rumah ibadat dalam kawasan perumahan kadang kala menimbulkan bantahan daripada penduduk setempat. Terutama jika terdapat isu seperti gangguan bunyi atau kesesakan lalu lintas. Keseimbangan antara keperluan agama penganut tertentu dan keharmonian masyarakat menjadi satu aspek yang sensitif.
3. Kekangan kewangan dan sumber. Banyak rumah ibadat beroperasi dengan sumber kewangan yang terhad. Menjadikan proses perubahan syarat tanah atau pelaburan dalam infrastruktur tambahan sebagai satu beban.
4. Ketiadaan perancangan awal. Dalam sesetengah kes, rumah ibadat dibina tanpa perancangan awal atau konsultasi dengan pihak berkuasa menyebabkan kekeliruan apabila ia perlu disahkan secara rasmi.
Oleh itu, untuk memastikan proses pemutihan berjalan lancar, Tangkak mohon mencadangkan beberapa pendekatan strategik yang boleh diambil untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Johor.
1. Inventori dan pemetaan rumah ibadat. Langkah pertama ialah membuat invetori menyeluruh tentang lokasi, status tanah dan sejarah rumah ibadat di sesuatu tempat. Data ini penting untuk membantu pihak berkuasa mengenal pasti rumah ibadat yang memerlukan pemutihan.
2. Dialog bersama Pemegang Taruh. Pihak Berkuasa Tempatan harus mengadakan dialog terbuka dengan Pemegang Taruh seperti Jawatankuasa Penganut dan Pengurusan Rumah Ibadat, pemimpin agama, penduduk setempat dan wakil NGO. Perbincangan ini boleh membantu meredakan sebarang kebimbangan atau salah faham.
3. Pematuhan peraturan tanah dan perancang bandar. Pemutihan rumah ibadat mesti mematuhi peraturan tanah yang sedia ada. Jika rumah ibadat berada di atas tanah perumahan, pertanian atau komersial, proses perubahan syarat tanah perlu dilakukan melalui prosedur rasmi. Ini termasuk mendapatkan kelulusan daripada pejabat tanah dan PBT.
4. Penambahbaikan infrastruktur. Sekiranya rumah ibadat memberi impak kepada kawasan sekeliling contohnya dalam bentuk kesesakan lalu lintas atau kekurangan parkir kenderaan, usaha
penambahbaikan infrastruktur perlu dilakukan. Ini boleh melibatkan menjadi tempat parkir kenderaan yang berdekatan atau pun sesuai atau pun penyesuaian akses jalan.
5. Perundangan dan polisi yang fleksibel. Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan dasar yang lebih fleksibel untuk menyokong pemutihan rumah ibadat selain Islam. Sebagai contoh, pengecualian tertentu boleh diberikan untuk rumah ibadat yang telah wujud selama beberapa dekad atau mempunyai kepentingan sejarah.
6. Penglibatan komuniti setempat. Masyarakat setempat harus dilibatkan dalam setiap langkah pemutihan. Sokongan daripada komuniti dapat memastikan proses pemutihan tidak mencetuskan konflik atau bantahan. Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, memerlukan peningkatan yang inklusif dalam menangani isu rumah ibadat selain Islam. Pemutihan rumah ibadat bukan sahaja mengukuhkan hak kebebasan beragama tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan keharmonian masyarakat.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin kebebasan beragama untuk semua rakyat. Pemutihan rumah ibadat adalah satu langkah penting dalam merealisasikan prinsip ini terutamanya untuk penganut agama minoriti. Proses pemutihan yang inklusif dan terus boleh menjadi platform untuk membina persefahaman antara agama. Dialog dan perbincangan yang melibatkan pelbagai pihak membantu memperkuatkan hubungan antara komuniti yang berbeza. Rumah ibadat yang diiktiraf secara rasmi tidak akan menghadapi risiko perobohan atau penutupan. Ini mengurangkan ketegangan sosial yang mungkin akan timbul akibat tindakan sedemikian. Pemutihan rumah ibadat yang terletak dalam kawasan perumahan, pertanian dan komersial adalah satu langkah penting untuk memastikan keharmonian dan keadilan dalam masyarakat. Walaupun proses ini akan menghadapi pelbagai cabaran, pendekatan yang inklusif, teliti dan sensitif mampu menyelesaikan isu ini secara harmoni. Kejayaan usaha ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin agama dan komuniti setempat. Dengan semangat muhibah, isu ini boleh ditangani dengan cara yang mencerminkan nilai-nilai kemakmuran dan keadilan negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai penutup Tangkak sekali lagi berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pengumuman pemberian ambulan baharu, menaik taraf persimpangan jalan, menambah lampu jalan dan mengganti paip air mentah di daerah Tangkak. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor, Maju Johor Rakyat Sejahtera. Bunga cempaka sirih bertindih, jangan dibuang dibuat berhias; Datuk Timbalan Speaker terima kasih, beri ruang saya berbahas.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum perbahasan ini diteruskan, izinkan patik terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November yang baru sahaja berlalu pada Jumaat lepas.
Patik dan juga mewakili sekalian rakyat di DUN Pulai Sebatang merafakkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh
keluarga dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberikan keafiatan dan penuh kedaulatan.
Seterusnya, saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ On Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kita yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang sangat baik pada Khamis lalu.
Belanjawan ini mengambil kira segala genap pandangan, cadangan daripada pelbagai pihak dan juga daripada pelbagai aspek, sudut pandang serta mengambil kira suara hati rakyat yang terbanyak. Cuma kali ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, cara mengolah dan merangka Belanjawan 2025 ini agak berlainan dengan Belanjawan 2024 kerana kali ini, kami Ahli-Ahli Yang Berhormat diberi peluang untuk duduk bersama-sama dalam perbincangan yang dibuat oleh YB-YB EXCO. Cuma saya mohon maaf, ada juga jemputan-jemputan yang kami tak dapat penuhi. Dan saya harap perkara baik ini dapat kita teruskan untuk belanjawan-belanjawan pada masa-masa akan datang.
Syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Johor, juga kepada YB-YB EXCO serta jabatan-jabatan dan tidak ketinggalan juga kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang sama-sama membantu memberikan idea bagi input dalam menyediakan kertas pembentangan Belanjawan 2025. Pemimpin tersohor berbudi bahasa, pemimpin tersohor rakyat gembira, Belanjawan Johor lengkap semua, Maju Johor rakyat sejahtera.
Saya nak ambil peluang juga, nak ucapkan terima kasih banyak kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam usaha menyediakan peruntukan tambahan kepada kami-kami Ahli-Ahli Yang Berhormat sebanyak RM200,000.00. (Dewan tepuk). Sebagaimana yang disebut oleh Pemanis tadi, tahun ini kita tak macam tahun lepas, kita tak dapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Dan saya harap, rakan-rakan yang berada di Blok Pengimbang dapat bantu bisik-bisikkan sebab RM200,000.00 yang diumum oleh Menteri Besar Johor ini, rakan-rakan dapat juga. Tetapi nampaknya macam tak angkat tangan. Tetapi saya tahu, rakan-rakan pengimbang bersetuju cuma tak angkat tangan. Jadi, harap tahun depan, bantu bisik-bisikkan kepada Kerajaan Persekutuan dapat salurkan peruntukan di peringkat persekutuan kepada ICU untuk kami-kami di negeri Johor ini. Ilmu di dada penuh berisi, peruntukan diberi penuh bermakna, orang yang muda bijak bestari, mentadbir negeri maju sejahtera. (Dewan bertepuk).
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak bawakan isu tentang guru-guru Tadika Agama Johor. Guru-guru KAFA dah banyak dah kita bincangkan.Dan, Alhamdulillah, banyak penambahbaikan yang telah dibuat oleh YB EXCO dan juga kerajaan negeri bagi memperkasakan guru-guru KAFA. Kita ceritakan sedikit tentang Tadika Agama Johor ini. Tadika Agama Johor ini mula ditubuhkan pada tahun 2001. Bermaknanya 23 tahun yang lepas. Kemudian, ini diluluskan ketika Majlis MMK Bilangan 5, 2000. 2001 lulus, kita nak buat Tadika Agama Johor ini. Kemudian tadika ini semuanya berdaftar dan ditadbir urus oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Johor sendiri yang mentadbirnya dan telah pun berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2011. Bermaknanya, tubuh 23 tahun yang lalu, daftar dengan KPM 13 tahun yang lalu.
Kita tahu bahawa sekolah agama ini merupakan nadi pendidikan utama umat Islam di Johor. Dekat sekolah tadika inilah anak-anak kita belajar mengaji dengan lebih mendalam. Dekat sekolah tadika inilah anak-anak kita belajar jawi. Kita pun dah ada Semarak Jawi sekarang, eh. Kita akui bahawa sebagai ibu bapa kita tak dapat nak ajar anak-anak kita ini mengaji, khatam Qurán sebagaimana yang dibuat oleh guru-guru Tadika Agama Johor ini. Ini terbukti Datuk Timbalan Speaker, tahun ini sahaja 745 orang anak-anak Tadika Agama Johor khatam Al-Qurán 30 juzuk yang berumur 5 tahun, 6 tahun. Hebat guru-guru Tadika Agama Johor ini. Saya nak tanyalah dalam Dewan ini, ada tak di kalangan kita-kita ini, 5 tahun khatam Qurán, angkat tangan? Saya seorang ke angkat tangan? Saya tak khatam Qurán
pun umur 5 tahun. Saya nak tanya, siapa dalam Dewan ini khatam Qurán umur 5 tahun? Ha, YB Pemanis angkat.
Ketika umur 5 tahun.
5 tahun? Ini yang berlaku di Tadika Agama Johor. 745 orang tahun ini khatam Qurán yang berumur 5 dan 6 tahun. YB EXCO sebut nak sasarkan 50,000. Hebat, sebab itu saya kata hebat guru-guru Tadika Agama Johor ini. Cuma, perkara yang nak saya bawa ini adalah perkara yang kita nak memperkasakan guru-guru Tadika Agama Johor. Beban kerja mereka bukan sahaja mengajar, mendidik, pentadbiran pun mereka buat, kewangan pun mereka pun buat, laporan kewangan mereka kena buat, tak ada kerani, tak ada pembantu, tak ada. Dan kebanyakan guru-guru agama Tadika Johor ini satu sekolah, satu. Semua diuruskan sendiri. Jadi, dalam Dewan ini saya nak mencadangkan supaya kerajaan Johor menambah baik jawatan guru Tadika Agama Johor dengan skim perjawatan tetap DG 29 yang mana sekarang ini mereka bergred S 19 Pembantu Hal Ehwal Islam, perjawatan kontrak. Kenapa kita nak cadangkan supaya mereka ini diberi jawatan tetap, gred DG 29?
Yang pertama, penaiktarafan jawatan yang sedia ada sekarang ini kepada gred DG 29, merupakan salah satu usaha memartabatkan pendidikan Islam di negeri Johor.
Yang kedua, meningkatkan lagi pengiktirafan terhadap Sistem Pendidikan Islam Johor yang telah mula pada tahun 1918, dah lama dah, eh. Menyahut saranan supaya, Sistem Pendidikan Awal diperkasakan. Dan bagi tujuan tersebut tenaga pengajar yang berkemahiran perlu bagi mencapai matlamat tersebut.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kita tahu kalau nak naikkan kepada DG 29 ini, mereka kena ada diploma. 323 orang guru Tadika Agama Johor, 90 daripadanya telah pun memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Saya ada datanya, untuk Pontian, kita ada seramai 18 orang ada Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kalau Batu Pahat ada 8 orang, eh. Johor Bahru ada 26 orang. Keseluruhan dalam negeri Johor ada 102 orang, minta maaf bukan 90 orang. 102 yang ada Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, jadi layaklah sekiranya mereka ini dinaikkan kepada jawatan tetap DG 29.
Jadi soalan saya, saya harap YB EXCO nanti dapat bantu buat penggulungan ketika hari Khamis nanti. Adakah Kerajaan Johor berhasrat dan merancang untuk memperkasakan guru-guru Tadika Agama Johor dengan penambahbaikan jawatan kontrak sedia ada S 19 ke jawatan tetap DG 29?
Seterusnya, pemandu mabuk. 7 hari lepas, kita dapat berita 5 orang kanak-kanak jadi yatim piatu sekelip mata. 17 tahun OKU, 15 tahun lelaki, 14 tahun, 12 tahun dan 3 tahun mereka ini anak-anak yang masih memerlukan perhatian, perlindungan, kasih sayang daripada orang tua tetapi kedua ibubapa mereka meninggal kerana dilanggar oleh pemandu mabuk.
Biasanya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pemandu mabuk ini kalau dia langgar, dia tidak mati. Yang mati orang yang dia kena langgar, yang dia langgar. Tapi kalau tanya saya, saya memang suka kalau dia tidak mati. Sebab apa, kalau dia tidak mati, kita boleh heret dia masuk dalam dua mahkamah. Mahkamah kes jenayah yang dia buat. Yang kedua kita boleh heret dia ke mahkamah kes saman keluarga si mati. Teruk dia kena kalau jatuh hukum. Akhirnya si pemabuk tadi akan mati merana kerana hukuman yang dikenakan ke atas dirinya. Tak dinafikan, eh, kalau kita heret pun mereka ini ke mahkamah, tidak kira berapa banyak pun jumlah pampasan yang dapat, ianya tak akan dapat ganti kehilangan insan tersayang. Kasih dan rindu yang tiada ubatnya. Tiada penghujungnya tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan dan keperluan meneruskan hidup ahli keluarga si mati.
Biasanya kalau kita nak selesaikan masalah kita kena cari punca. Mungkin ramai yang kata puncanya adalah kilang arak. Orang yang jual arak. Tetapi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam sidang Dewan kali ini saya tak nak minta dulu negeri Johor batalkan lesen arak. Saya tak nak minta Kerajaan Negeri Johor haramkan kilang arak, kerana puncanya adalah bukan daripada kilang dan kedai tersebut. Puncanya adalah kerana ada permintaan. Dianya umpama kalau kita nak minta tutup kilang arak, nak minta tutup kedai atau pun lesen jual arak, ianya umpama kita menghamburkan tedung selar. It will be getting worst. Kalau kita kata tutup kilang arak, kita kata kita tutup kedai jual arak, kongsi gelap, pasaran gelap akan buat duit dari keputusan yang kita buat. Ia akan dapat duit lebih banyak daripada keputusan yang kita kata kita nak tutup kilang dan kedai arak. Saya bincangkan dalam Dewan ini, supaya jabatan-jabatan ada, EXCO-EXCO ada, mungkin nanti boleh duduk berbincang tentang macam mana cara kita nak menangani masalah pemandu mabuk kerana minum bahan alkohol ini, eh. Kalau katalah kita tutup kilang dan kedai arak, sudah pastinya arak tetap akan diseludup masuk kerana ada permintaan. Arak yang diseludup masuk itu sudah pasti kita tak dapat kawal kuantiti bahan yang ada dalam arak tersebut. Kalau dia minum arak terkawal, mabuknya katalah 10 ganda, kalau dia minum arak yang tak terkawal, dia boleh mabuk 20 kali ganda. Dan kalau mengikut laporan daripada MIROS eh, pemandu mabuk ini dia berisiko kemalangan 13 kali ganda berbanding pemandu biasa. Bayangkan kalau dia minum arak seludup ini 13 kali ganda itu mungkin melebihi ke 26 kali ganda. Makin menggalakkan kemalangan di jalan raya akibat pemandu mabuk.
Jadi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, data ini data daripada Public Health Malaysia (NHMS). Satu persepuluh ini kalau bab minum arak ini, orang Melayu Islam pun ada minum arak. Satu persepuluh rakyat Malaysia ini minum arak, satu persepuluh. Satu perdua yang minum arak tadi itu, minum alkohol, yang minum alkohol tadi itu, satu persepuluh minum minuman beralkohol, satu perdua yang minum alkohol ini dia adalah peminum tegar yang boleh mendatangkan mudarat. Maknanya dia minum, confirm dia mabuk. Yang minum tegar ini pula, dia minum paling kurang seminggu sekali. Ada yang minum 2 hari sekali, hari-hari eh. Jadi ini angka yang amat kita khuatir, eh.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, WHO juga mengeluarkan bahawa setiap tahun 1.35 juta kematian berpunca daripada pengambilan alkohol secara berlebihan dan berdasarkan kajian WHO juga kematian yang berpunca dari minum alkohol di Malaysia kemalangan jalan raya 17.6 peratus pemandu lelaki mabuk, manakala pemandu perempuan yang mabuk mewakili sebanyak 10.9 peratus. Akta, kita dah ubah dah Akta. Tahun 1987 Akta dah dibentang dalam Dewan, tahun 2020 dah pinda daripada kalau dulu penjara 3 hingga 10 tahun, yang terbaru 10 hingga 15 tahun. Kalau dulu denda RM8,000.00 hingga RM20,000.00 sekarang denda RM50,000.00 hingga RM100,000.00. Tapi dengan hanya mengubah Akta saya rasa masalah pemandu mabuk ini masih belum dapat kita selesaikan.
Jadi, cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan kemalangan melibatkan pemandu mabuk ini, saya nak cadangkan supaya kita dapat menghadkan lesen menjual minuman keras terutamanya kepada premis hiburan atau pun kedai serbaneka. Yang kedua. mengurangkan atau pun menghadkan lesen pusat hiburan. Yang ketiga, boleh juga kalau kita letakkan premis-premis yang menjual minuman keras ini dalam satu kawasan bertol. Tol percuma pun tak apalah, eh. Mari kita kumpulkan mereka supaya setiap kenderaan yang keluar dari kawasan itu perlu bebas dari pengaruh alkohol. Kena ada kempen keselamatan jalan raya, kena ada penguatkuasaan berterusan daripada pelbagai agensi penguat kuasa dan kita juga kena bantu memperkasakan pusat latihan memandu agar menjelaskan kepada pemandu tentang hukuman sekiranya memandu di bawah pengaruh alkohol atau pun dadah.
Dekat Australia dan juga Jepun, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kalau siapa-siapa nak mohon lesen arak ini, mereka ditambahkan lagi satu syarat yang mana pengusaha kena sediakan pemandu upahan dekat premis mereka. Bermaknanya kalau pelanggan dia mabuk, tak boleh bawa kereta, kedai kena sediakan pemandu upahan hantar
sampai balik rumah dan ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu mabuk di Australia dan juga di Jepun. Jadi, soalan saya apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pemandu mabuk? Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang dan adakah satu hari nanti Kerajaan Johor akan mengharamkan arak atau pun alkohol ini sebagaimana kita mengharamkan vape sekarang ini. Saya ada pantun khas buat si pemabuk, burung merbuk dipijak gajah, gajah dibelai naik berang; kalau nak mabuk mabuklah, jangan sampai susahkan orang. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya berkaitan dengan Semarak Jawi, saya nak ucap tahniah kepada Yang Berhormat EXCO di atas usaha dalam memperkasakan Jawi. Di dalam bahas saya pada Disember 2022, saya juga turut mencadangkan supaya kita memperkasakan tulisan Jawi ini sebagaimana yang berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan juga Pahang. Jadi, soalan saya sejauh manakah seriusnya Kerajaan Johor hendak memperkasakan Jawi dan tulisan Jawi dan apakah perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirancang oleh YB EXCO dan juga Kerajaan Negeri? Kalau dulu-dulu Yang Berhormat Timbalan Speaker, orang bukan Melayu pun baca surat khabar Jawi tapi sekarang benda-benda tu dah tak ada tapi satu perkara yang baik apabila Yang Berhormat EXCO membuat Program Semarak Jawi, kita ada Semarak Subuh, tahun depan dua minggu sekali rakan-rakan, kita ada Semarak Jawi jadi saya harap perkara ini dapat diteruskan supaya kita dapat memartabatkan tulisan Jawi di negeri Johor ini.
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya nak mohon YB EXCO Pendidikan untuk lihat dan ambil perhatian keperluan anak-anak pelajar berkeperluan khas iaitu PPKI, Program Pendidikan Khas Integrasi dekat Pulai Sebatang kita ada empat sekolah yang ada PPKI ini. Empat sekolah yang ada PPKI sekolah menengah, sekolah rendah kita ada tujuh PPKI ini, yang mana baru-baru ini, saya datang ke Sekolah Menengah Kayu Ara Pasong, fasiliti kemudahan dan keselesaan bilik darjah anak-anak PPKI ini sangat sedihlah saya lihat, jadi saya harap YB Pendidikan dapat tengok PPKI ini sebab anak-anak ini dia tak macam anak-anak biasa. Kalau anak-anak biasa dia faham apa itu sabar, kalau anak-anak biasa dia faham apa itu tenang, tetapi anak-anak PPKI ini kalau dia nak tantrum, dia tantrum. Kalau dia nak menangis, dia menangis. Jadi, saya rasa wajib kita menyediakan fasiliti dan kemudahan yang selesa buat anak-anak ini kerana mereka juga akan menduduki peperiksaan bukan peperiksaan SPM tetapi peperiksaan PASM iaitu Peperiksaan Alternatif Sekolah Menengah ya. Jadi, saya harap YB EXCO dapat mengambil berat isu ini.
Yang seterusnya, saya ada bawa isu ini di daerah dan alhamdulillah JKR Daerah Pontian telah pun mengangkat permohonan ini. Oleh kerana hari ini YB Bukit Pasir tak ada, saya tak nak tanya, dia ada tugas lain eh. Saya tak nak tanya lulus ke tidak permohonan, saya nak tanya bila nak naik taraf simpang tiga Parit Semerah J112 dan J253 Parit Jawa. Kenapa saya nak tanya bila, ni macam paksa lulus ni, sebab hari Khamis yang lepas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ada sebut projek-projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan antaranya adalah menaik taraf jambatan Pontian Besar, so apabila jambatan itu dinaik taraf sudah tentunya laluan Parit Semerah menuju ke Parit Jawa ini menjadi laluan alternatif utama. Orang Pontian, orang Benut untuk pergi ke Johor dan juga begitu sebaliknya. Jadi, saya harap projek menaik taraf simpang tiga J112 Parit Semerah dan Parit Jawa J253 ini dapat dilaksanakan dengan segera.
Akhir sekali, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, hari ini 414 hari Palestin terus dibom, dibantai di bumi Gaza. Saya harap rakan-rakan yang ada dalam Dewan ini teruslah berdoa dan teruslah lakukan usaha-usaha apa sahaja yang boleh mudah-mudahan sedikit sebanyak kita dapat membantu membebaskan bumi Gaza ini daripada cengkaman Israel Zionis The Real Terrorist.
Jadi, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya akhiri dengan pantun, kenapa saya buat pantun ini, sebab saya harap jabatan-jabatan dapat bantu Yang Berhormat EXCO-EXCO menjawab segala soalan-soalan yang kami ajukan dalam Dewan ini, sebab kadang-kadang kita berbahas, kita tak dapat pun terima jawapan daripada YB EXCO, mungkin tertinggal. Jadi ni saya nak beri pantun. Pantun tiga rangkap, sauk ikan dalam tempayan, dalam tempayan bunga hiasan; bunga melur hiasan adanya, kepada jabatan bantu jawapan segala soalan dalam perbahasan, supaya EXCO jawab semua. Yang kedua, bunga melur hiasan adanya, putih hiasan kilau berkilat; kilau diumum cantik dan kemat, harap EXCO jawab semua, semua soalan jawapan tepat untuk dimaklumkan kepada rakyat. Sekian, Pulai Sebatang mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah, wssalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Pulai Sebatang. Selanjutnya, dijemput Yang Berhormat Bentayan.
Salam sejahtera dan selamat pagi, Yang Berhormat Datuk Speaker, jutaan terima kasih diucapkan atas peluang yang diberikan kepada Bentayan untuk mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis lepas di dalam Dewan yang mulia ini.
Bentayan juga ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 22 November 2024.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan mengalu-alukan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyediakan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor. Rakyat sering kali tidak tahu kepada agensi mana mereka perlu membuat aduan apabila menghadapi pelbagai isu. Atau mereka mengadu kepada agensi yang salah menyebabkan aduan tersebut tidak diterima atau tidak dapat maklum balas. Berikut adalah beberapa cadangan untuk menambah baik inisiatif penubuhan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor.
1. Pertama, digitalisasi dan accessibility online. Sediakan platform digital seperti laman web atau aplikasi mudah alih untuk membolehkan rakyat menghantarkan aduan bila-bila masa dengan mudah. Pastikan platform mesra pengguna dengan panduan langkah demi langkah untuk menghantar aduan.
2. Pemantauan masa nyata. Berikan nombor rujukan unit untuk setiap aduan supaya senang diikuti, gunakan sistem pemantauan aduan secara langsung real time checking dengan izin, di mana rakyat boleh melihat status penyelesaian aduan mereka.
3. Penanda aras masa respon. Tetapkan KPI yang jelas untuk masa tindak balas dan penyelesaian setiap aduan.
4. Empat, pemantauan berterusan. Bentuk pasukan khas untuk memantau prestasi agensi atau jabatan yang bertanggung jawab terhadap aduan.
5. Sistem ganjaran. Berikan pengiktirafan kepada agensi yang cemerlang menyelesaikan aduan dengan efisien.
6. Promosi dan kesedaran. Jalankan kempen kesedaran supaya lebih ramai rakyat tahu tentang kewujudan Pusat Aduan ini menggunakan pelbagai saluran seperti media masa, komuniti setempat dan sebagainya. Harap platform ini dapat menjadi lebih efisien, mesra rakyat dan berkesan dalam menangani masalah masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan pasukannya atas usaha yang bersungguh-sungguh dalam menarik pelaburan asing untuk memacu perkembangan ekonomi negeri dan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Johor. Kita juga telah melihat pencapaian yang cemerlang iaitu sebanyak RM113,7000.00 bilion pelaburan dan menghasilkan 35,000 peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun. Namun saya ingin bertanya, sejauh mana pelabur asing ini benar-benar memberi impak positif kepada ekonomi tempatan atau peluang pekerjaan. Saya mengemukakan soalan ini kerana saya didapati bahawa terdapat sebahagian pelabur asing yang melabur di negara kita tidak membeli walau satu inci tanah pun apatah lagi membina sebuah kilang. Mereka hanya menyewakan kilang yang sedia ada untuk beroperasi. Bahan mentah pula, kebanyakannya diimport dari negara asal dan jika ada pun hanya sebahagian kecil yang dibeli daripada pembekal tempatan. Malah ada yang juga yang sebiji skru pun tidak dibeli daripada pembekal tempatan.
Dalam aspek peluang pekerjaan, mereka mengambil pekerja asing sebagai operator pengeluaran manakala staf-staf pengurusan atau teknikal pula dibawa masuk daripada negara asal mereka. Mereka mungkin mengambil pekerja tempatan sebagai pengurusan pertengahan seperti pentadbiran atau sumber manusia sahaja. Namun, bilangannya tidak banyak. Oleh itu, pelaburan jenis ini, bukan sahaja tidak mendatangkan perkembangan positif kepada ekonomi tempatan malah mengancam perusahaan kecil atau sederhana tempatan pula. Ini kerana mereka dapat menghasilkan produk dengan kos yang lebih rendah di negara kita kerana dapat menikmati kelebihan jenama buatan Malaysia, yang memberi manfaat dari, memberikan faedah dari segi tarif import di negara lain. Dengan jangka masa panjang, ini akan memberikan impak negatif kepada pengusahaan kecil dan sederhana tempatan. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan bahawa usaha menarik pelaburan asing ini tidak menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana tempatan. Malah sebaliknya membolehkan PKS tempatan meraih manfaat. Justeru kerajaan harus lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan asing yang betul-betul memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan kenaikan kadar bantuan warga emas kepada RM600.00 sebulan berbanding RM500.00 sebulan sebelum ini. Kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin turut dinaikkan daripada RM200.00 kepada RM250.00 seorang bagi anak yang berusia 6 tahun dan ke bawah. Serta daripada RM150.00 kepada RM200.00 seorang bagi anak dalam lingkungan usia 7 hingga 18 tahun tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000.00 untuk satu keluarga.
Permohonan ini tepat pada masanya dan sudah tentunya akan membantu meringan beban penerima dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup. Tetapi kerajaan jangan mengetepikan satu lagi golongan penerima bantuan JKM iaitu bantuan am, di mana kadar bantuan mereka masih kekal sebanyak RM300.00 sebulan sahaja. Maka, diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menaikkan kadar bantuan bagi golongan bantuan am ini untuk meringankan bebanan golongan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700.00 sebulan berkuat kuasa 1 Februari tahun depan. Manfaat daripada kenaikan gaji minimum ini ialah rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. Tetapi, jangan kita lupakan satu lagi golongan yang turut menghadapi masalah kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi pendapatan mereka masih rendah iaitu petugas-petugas PDK. Saguhati seorang petugas PDK adalah sebanyak RM1,400.00 sebulan yang merangkumi 120, RM1,200.00 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM200.00 daripada Kerajaan Negeri. Manakala saguhati Penyelia ialah RM1,700.00 sebulan yang merangkumi RM1,500.00 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM200.00 daripada Kerajaan Negeri. Walaupun mereka tergolong sebagai sukarelawan kepada PDK tetapi tugasan dan
tanggungjawab mereka adalah besar dan tidak mudah. Mereka perlu melatih dan menjaga kanak-kanak OKU, kanak-kanak autism dan kanak-kanak hyperactive dan sebagainya. Untuk menjadi petugas PDK memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka berhadapan dengan pelatih yang memerlukan perhatian yang lebih berbanding pelajar di sekolah biasa. Sebagai satu penghargaan kepada jasa semua petugas PDK, Bentayan ingin mencadangkan supaya saguhati mereka dinaikkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri yang telah meningkatkan peruntukan tahun 2025 kepada RM1 juta berbanding dengan RM900,000.00 pada tahun 2024 untuk melaksanakan Program Penghantaran Ubat Percuma Melalui Pos. Namun tiada peruntukan untuk projek Locker For You bagi tahun 2025 berbanding dengan RM170,000.00 pada 2024. Kedua-dua inisiatif ini amat membantu memudahkan urusan pesakit mendapatkan ubat yang diperlukan selain membantu mengurangkan kesesakan di klinik ataupun hospital. Soalan yang dibangkitkan di sini ialah tentang projek Locker For You. Berapakah jumlah lokasi dan jumlah locker yang disediakan serta kadar kegunaannya setakat ini. Sebab saya menyedari akan kewujudan locker-locker ini di pusat membeli-belah tetapi ramai orang termasuk saya pada awalnya tidak tahu apakah kegunaannya disebabkan kekurangan promosi. Maka Kerajaan Negeri harus lebih mempromosikan kemudahan ini supaya lebih ramai orang dapat menikmatinya. Kemudahan ini memang menyenangkan kerana pesakit tidak lagi perlu datang ke hospital untuk mendapatkan ubat. Ini sekaligus dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi beratur dan menunggu lama di kaunter serta menghadapi dengan masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital. Dengan kemudahan ini, pesakit boleh mendapatkan ubat pada bila-bila masa, di lokasi yang mudah dan selesa seperti di pusat membeli-belah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Klinik Kesihatan Bergerak merupakan satu inisiatif yang bagus, yang menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan asas dan pergigian kepada seluruh rakyat Johor dengan peruntukan berjumlah RM1.3 juta pada tahun ini dan RM1 juta diperuntukkan pada tahun depan. Inisiatif ini telah diperkenalkan secara berperingkat di 56 kawasan DUN tetapi Bentayan berasakan bukan semua kawasan sesuai untuk diadakan perkhidmatan ini terutamanya di kawasan bandar. Sepatutnya perkhidmatan ini lebih fokus kepada kawasan luar bandar yang jauh daripada fasiliti kesihatan dan diadakan secara berkala di lokasi yang tetap untuk memudahkan rakyat membuat pemeriksaan susulan. Jika dengan hanya sekali setahun, saya tidak rasa dia akan meningkat, dapat meningkatkan kualiti kesihatan rakyat. Pada masa yang sama perkhidmatan yang ditawarkan juga boleh ditambah seperti ujian darah, saringan kanser payu dara, saringan HPV dan sebagainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, 5 PBT negeri Johor telah melaksanakan penyelarasan cukai baru pada tahun ini. Bagi tahun 2025 pula lagi beberapa PBT seperti Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Daerah Segamat, Majlis Daerah Labis, Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Mersing akan melaksanakan pelarasan cukai baru. Bagi Majlis Perbandaran Muar, penyelarasan cukai baru ini terakhir adalah pada tahun 2015 iaitu 10 tahun yang lalu. Kawasan di daerah Muar telah dibahagi kepada 4 kategori iaitu Bandar Maharani atau bandar, pekan, luar bandar dan Bandar Universiti Pagoh. Pada keseluruhannya kebanyakan kadar cukai baru telah menurun misalnya jenis pegangan perumahan di bandar telah menurun daripada 0.2 peratus kepada 0.18 peratus dan jenis pegangan peniaga telah menurun daripada 0.3 peratus kepada 0.26 peratus. Tapi, nilai cukai baru telah meningkat dengan mendadak terutamanya jenis pegangan perumahan ataupun perniagaan di kawasan bandar. Ini disebabkan nilai tambahan hartanah meningkat lebih 100 peratus dan ada yang meningkat sehingga 300 peratus terutama bagi rumah yang melebihi 10 tahun. Sebagai satu contoh, sebuah rumah teres satu tingkat yang berusia lebih daripada 40 tahun nilai tambahnya pada tahun 2013 adalah RM114,000.00 dan meningkat ke RM304,000.00 pada tahun 2020. Peningkatan sebanyak 167 peratus dan cukai barunya meningkat sebanyak 140 peratus iaitu daripada RM228.00 kepada RM447.20 setahun. Dan pemilik rumah ini adalah seorang
pesara. Sebuah rumah berkembar pula nilai tambah dia meningkat daripada RM184,000.00 kepada RM726,000.00 iaitu peningkatan sebanyak 295 peratus dan cukai hartanya telah meningkat daripada RM368.00 kepada RM1,306.80 setahun iaitu peningkatan sebanyak 255 peratus. Satu lagi contoh boleh dilihat di satu taman yang dinamakan Taman Sungai Abong Indah yang mempunyai lebih kurang 220 buah rumah termasuk rumah sebuah, rumah berkembar dan rumah teres. Bentayan telah menerima aduan daripada 60 pemilik rumah teres di antara kenaikan nilai harta mereka adalah daripada 67 peratus hingga 197 peratus iaitu purata 129 peratus setiap rumah dan cukai harta meningkat daripada 50.4 peratus hingga 167 peratus iaitu purata 106 peratus setiap rumah.
Kerajaan Negeri mungkin mengatakan bahawa kadar cukai telah menurun. Kenaikan cukai baru disebabkan kenaikan nilaian hartanah dan penilaian adalah berdasar pada tahun 2020, nilai hartanah akan menjadi lebih tinggi jika berdasar tahun 2024. Tetapi, kenaikan nilaian hartanah tidak membawa sebarang makna sekiranya pemilik atau rakyat tiada rancangan untuk menjual harta mereka. Cukai baru ini menjadi perhatian rakyat sekarang ialah adakah cukai baru ini akan menambahkan beban mereka? Dengan keadaan kadar ekonomi negara yang masih dalam fasa pemulihan, rakyat masih menghadapi inflasi yang tinggi. Maka kenaikan cukai harta yang mendadak akan memberi impak yang besar dan menambah lagi bebanan mereka. Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat yang sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi, Bentayan ingin mencadangkan supaya kadar kenaikan nilai penyelarasan cukai baru boleh dihadkan kepada satu siri. Sebagai contoh, kadar kenaikan maksimum haruslah sebanyak 30 peratus atau 40 peratus sahaja daripada nilai asas. Bentayan juga menyeru kerajaan negeri untuk mengkaji semula cara kiraan cukai harta yang sedia ada sebab dia seringkali menimbul isu, setiap kali PBT melaksanakan penyelarasan cukai baru.
Peningkatan cukai baru harus dilaksanakan secara berperingkat supaya dia tidak akan membebankan rakyat. Misalnya meningkat 10 peratus untuk tahun pertama, 20 peratus untuk tahun kedua, 30 peratus tahun yang ketiga dan seterusnya. Selain itu, kita perlu mencarikan satu jalan penyelesaian yang akan membawa kepada win-win situation, dengan izin, kepada semua pihak yang mana, yang mana dapat menambah pendapatan PBT dan pada masa yang sama tidak terlalu membebankan rakyat. Selepas PBT menyelaraskan cukai baru, hasil pendapatan dijangka meningkat. Jadi Bentayan juga harap kualiti perkhidmatan PBT akan turut dipertingkatkan seperti menaiktaraf kemudahan awam, menyelesaikan aduan rakyat dengan lebih cepat dan memastikan rakyat merasakan bahawa cukai yang mereka bayar adalah berbaloi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya Bentayan sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2025. Semoga segala inisiatif yang dirancang di dalam belanjawan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya supaya mendapatkan manfaat kepada semua rakyat Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.50 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang belum terlibat dengan perbahasan harus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang akan membahaskan dan terlibat dalam
perbahasan yang akan menggunakan waktu yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Ahli Yang Berhormat, dijemput Yang Berhormat Parit Raja.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatulalhi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik serta seluruh warga DUN Parit Raja merafak sembah menjunjung kasih dan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada tanggal 22 November yang lalu. Patik dan seluruh warga DUN Parit Raja berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat DiRaja dilanjutkan usia dalam keafiatan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah jua. Daulat Tuanku.
Patik juga menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas nasihat dan bimbingan yang dicurah kepada kepimpinan negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan kesyukuran atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan penuh keazaman untuk terus membawa pembangunan, memastikan setiap warga dan lapisan Bangsa Johor mendapat kesejahteraan dari pelbagai aspek. Ditambah lagi dengan usaha membasmi kemiskinan dan memastikan tiada rakyat yang tercicir dari pembangunan. Syukur Alhamdulillah pendekatan yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar turun padang, merasai dan menghayati denyut nadi rakyat, memastikan kerja-kerja pembangunan dilaksana mengikut jadual dan sempurna. Gerak kerja dan tumpuan khas Yang Amat Berhormat bagi mengurangkan risiko-risiko banjir. Komitmen Kerajaan Negeri membantu menaiktaraf fasiliti kesihatan, infrastruktur jalan raya dan infrastruktur awam yang lain. Program yang dapat di rasai bersama rakyat seperti Jualan Kasih Johor dan Semarak Subuh yang semakin mendapat tempat dihati rakyat. Kenaikan elaun pegawai masjid juga sudah lama ditunggu lebih 12 tahun. Semoga Allah memberkati usaha ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja terus membawa suara warga DUN Parit Raja. Terlebih dahulu Parit Raja ucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat EXCO Kerja Raya atas usaha memastikan baki kerja projek membina laluan baharu Jalan Kampung Rahmat merentasi Estet Sri Gading, Batu Pahat dapat dilaksanakan. Jalan ini memendekkan jarak dan masa perjalanan berbanding sedia ada, mengurangkan kesesakan trafik tanpa melalui bandar Batu Pahat. Sayugia, Parit Raja ingat kembali ketika bulan April 2017, projek ini telah dirasmikan pecah tanah oleh ketika itu Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin selaku Menteri Besar Johor. Namun, pada 4 Oktober 2022 saya bersama dengan YB Senggarang telah dipanggil oleh JKR Batu Pahat kerana dukacita pembangunan jalan ini belum selesai. Maka, pada 24 Oktober 2024 lawatan kerja oleh Yang Berhormat EXCO Kerja Raya untuk tawaran semula menyiap baki kerja projek sebanyak 13 peratus. Jadi, kalau kita lihat bayangkan berapa lama rakyat terpaksa menunggu jalan ini siap lebih kurang hampir 7 tahun oleh kerana kecuaian satu-satu pihak hingga akhirnya rakyat memberi hukuman pada pilihan raya. Oleh yang demikian, saya amat berharap Kerajaan Negeri terus bertindak tegas kepada pihak yang telah diberi tanggungjawab terhadap kerja-kerja pembangunan yang akhirnya memberikan implikasi terhadap pencapaian kerajaan. Parit Raja juga merakamkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, Datuk Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi kerana pada April 2017 beliau sendiri dengan segala usaha terhadap pembangunan ini. Kita mohon Yang Amat Berhormat MB dapat menyempurnakan serahan siap kerja jalan ini nanti insya-Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, namun pada fasa akhir persiapan jalan ini warga kampung ingin memohon beberapa keperluan iaitu tambahan lorong simpang masuk berserta perabot jalan yang lengkap supaya diasingkan daripada lorong laju. Susur masuk nyah pecutan ini adalah bagi kemudahan rutin harian penunggang motosikal untuk urusan seperti menghantar anak ke sekolah. Saya amat berharap perkara ini dapat diteliti dan dilaksanakan untuk meningkatkan aspek keselamatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor yang telah diberi mandat ini dan kita semua yang berada di dalam Dewan ini khususnya yang sentiasa melaungkan Maju Johor. Yang Amat Berhormat, kita semua dan rakyat di luar sana memang mengimpikan Maju Johor. Ia dapat diterjemah, dapat dilihat dan di rasai di seluruh pelosok kampung-kampung kita. Permintaan keperluan rakyat itu bukan lah satu yang luar biasa sangat, keperluan jalan yang bagus, lampu jalan yang baik, pencahayaan lampu yang cukup, sungai dan parit di selenggara, bekalan air dan tenaga elektrik yang memuaskan. Syukur alhamdulillah dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor. Namun Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat beberapa perkara yang masih membelenggu rakyat. Isu banjir, satu perkara yang menjadi iguan ngeri kepada seluruh warga penduduk baik di bandar atau di kampung sama ada banjir kilat, banjir termenung atau banjir monsun. Walau hanya dua atau tiga jam atau berminggu-minggu, ia memberi kesan sosial kepada seluruh isi rumah. Walaupun kita boleh lihat ada usaha-usaha untuk menangani banjir, ada usaha mengenal pasti setiap banjir itu berbeza kaedah penyelesaiannya. Namun, saya yakin kita semua boleh bersetuju bahawa dengan jadual penyelenggaraan asas itu sendiri jika dilaksana ikut berjadual setidak-tidaknya risiko banjir dapat dikurangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di Batu Pahat terdapat 3,033 kilometer parit dan 339 kilometer sungai yang perlu diselenggara dengan kos semasa anggaran RM29 juta. RM15 juta bagi kerja pembersihan parit, bagi satu kali pusingan dan RM16 juta bagi kerja pembersihan sungai bagi satu kali pusingan. Alhamdulillah untuk tahun ini kerja pembersihan parit dilaksana oleh JPKK sebanyak satu kali pusingan dengan anggaran RM1.5 juta dan ada peruntukan tambahan. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita. Namun, peruntukan tersebut benar-benar masih tidak mencukupi. Parit Raja mohon untuk tahun 2025 diteruskan dan ditambah lagi peruntukan yang tersebut sebab kalau kita hendak buat, kita kena buat betul-betul. Ini pun Yang Berhormat Datuk Speaker, sehari dua ini Parit Raja menerima aduan untuk permohonan pembersihan segera di beberapa kampung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi perkara yang membelenggu warga Parit Raja iaitu sumber tekanan air yang begitu rendah hampir setiap hari membelenggu warga penduduk sehingga tahap kritikal. Sekarang ini bukan sahaja pada waktu-waktu kemuncak contohnya warga penduduk pulang daripada kerja tetapi perkara ini saya lihat sudah semakin melarat menjadi hampir sepanjang masa. Itu belum lagi keadaannya pada hari-hari perayaan, saya melihat perkara ini sudah berulang kali di kebanyakan kawasan juga. Bekalan air bersih serta mencukupi menjadi salah satu strategi utama Belanjawan Johor. Saya ingin mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan satu task force khas dengan izin, bagi usaha penggantian sistem perpaipan lama kepada perpaipan baharu untuk mengatasi permasalahan agihan sumber air bersih dan terancang. Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan ini, agensi terlibat juga diharap dapat turun ke lapangan, buat bancian yang betul, sama ada betul atau tidak orang kampung mendapat bekalan air yang terlalu sedikit dan kritikal. Aduan hampir setiap hari dengan wujudnya banyak taman perumahan dan penempatan baru di kampung. Baik di kampung atau pekan mereka juga membayar pada kadar harga yang sama. Jadi, kenapa mereka perlu menerima perkhidmatan seperti ini bila pembangunan semakin padat. Saya amat berharap isu ini dapat diambil perhatian oleh Yang Amat Berhotmat Menteri Besar dan kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja terus memanjangkan suara rakyat di dalam Dewan yang mulia ini. Iaitu kesesakan lalu lintas di persimpangan masuk dari jalan
persekutuan ke jalan Kampung Parit Sempadan yang sudah tidak dapat dibendung lagi. Dengan keadaan laluan yang sempit ditambah lagi jalan tersebut menjadi laluan utama untuk urusan pulang dan pergi ke sekolah, oleh yang demikian, pertemuan dan perbincangan dengan pihak ibu bapa mencadangkan agar parit tanah sedia ada di ganti dengan culvert u-drain dengan izin, untuk menjadi sebahagian daripada ruang tambahan kepada orang ramai. Memandangkan laluan keluar masuk jalan tersebut terdapat traffic light yang mengundang kenderaan berat melalui jalan yang tersebut. Warga Parit Raja berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pembukaan kawasan perindustrian baharu di Sri Gading dengan keluasan hampir 1,000 ekar sedang diusahakan untuk tujuan perindustrian. Apa pun kita sambut baik pembangunan yang dibawa dan dirancang melalui kerajaan, Rancangan Tempatan Daerah. Yang penting kepentingan awam tidak diabaikan terutama komitmen semua pihak memastikan tiada kesan yang boleh menyebabkan bencana seperti banjir kilat, pencemaran alam dan lain-lain permasalahan mendatang akibat pembangunan ini. Sebab berdasarkan data asas negeri Johor sehingga tahun 2022, daerah Batu Pahat boleh dikatakan antara lima tertinggi penyumbang kes aduan pencemaran termasuklah pencemaran udara dan air. Antara infra yang ditawarkan adalah seperti asrama pekerja, jalan yang lebar, jalur lebar berkelajuan tinggi, konsep kehijauan dan juga bekalan gas dan kuasa elektrik voltan tinggi. Cadangan dan permohonan projek pembangunan baharu yang bakal dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tahun 2026 iaitu Projek Fizikal Membina Laluan Baharu Jalan Menghubungkan Jalan Persekutuan Melalui Sri Gading Ke Jalan Persekutuan FT001 juga akan menjadi keutamaan. Saya melihat bila wujud satu kawasan perindustrian yang begitu luas dengan daerah Batu Pahat yang semakin padat dan berkeperluan tinggi berdasarkan perangkaan laporan kebakaran mengikut daerah Negeri Johor. Di daerah Batu Pahat pada tahun 2022 sebanyak 420 laporan, kedua tertinggi di Negeri Johor. Oleh sebab itu, tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan infrastruktur perkhidmatan yang lengkap dan mungkin keperluan dan keutamaan untuk membangunkan satu balai bomba yang baharu berserta anggota sudah sampai kepada keperluannya. Saya faham ia bukan sekarang, tetapi ketika rangka cadangan ini diangkat maka agensi-agensi ini perlu dilibatkan demi kepentingan dan keselamatan orang awam. Dan, saya amat berharap perkara ini mendapat perhatian daripada Yang Berhormat EXCO dan Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah dan terima kasih di atas usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersama Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan yang telah mewujudkan Jawatankuasa Khas PDRC bagi memantau pembangunan rumah mampu milik. Di sini Parit Raja hendak mendapatkan penjelasan apakah status dan perkembangan terkini projek sasaran pembinaan rumah mampu biaya di kawasan DUN Parit Raja iaitu dua projek sasaran yang akan siap dijangka pada tahun 2025 sebanyak 505 unit iaitu di Bandar Baharu Pura Kenchana sebanyak 295 unit bagi fasa pertama, dan di Taman Mutiara Gading sebanyak 210 unit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di Johor ini kita amat bertuah, semua cerita pasal orang muda. Walaupun Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2030 nanti negara kita akan dibanjiri warga emas. Orang muda di Johor di letakkan dalam satu Teras untuk Maju Johor. Hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memang begitu tinggi, Orang Muda Johor mengisi ruang dan peluang yang disediakan. Tetapi hasrat ini perlu disambut oleh semua pihak, apa yang terlebih penting ialah tadbir urus yang melibatkan pelbagai agensi. Agensi yang bertanggungjawab perlu menggembleng tenaga merealisasikannya. Kalau boleh semua anak muda dan masyarakat terlibat secara langsung dalam apa jua sektor khususnya di negeri Johor sendiri. Keadaan ini untuk mengimbangi kebanjiran warga asing kalau betul lah sektor industri boleh menawarkan tangga gaji seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kita kepada belia lepasan TVET. Sebab apa, saya lihat masalah kebergantungan industri terhadap warga asing ini seolah-olah semakin tinggi dan membimbangkan. Ia menimbulkan banyak isu berbangkit, kalau dapat Parit Raja sebut isu-isu yang berkaitan akibat kebergantungan industri terhadap warga asing kerana
saya yakin dan saya meletakkan sepenuh keyakinan di bawah kepimpinan Maju Johor, perkara ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya. Antara isu-isu berbangkit ialah warga-warga asing yang bekerja di industri ini ditempatkan di taman-taman perumahan seperti warga negara kita yang lain. Kebimbangan di kalangan warga negara untuk menjalani rutin harian, untuk melepaskan anak-anak bermain di taman permainan dan setidak-tidaknya untuk pergi belajar mengaji. Warga asing kini bebas untuk mendapatkan keperluan harian dan persoalannya, mereka pula boleh mendapatkan bekalan makanan yang bersubsidi seperti beras dan minyak bungkusan paket. Bagaimana ini boleh terjadi? Penempatan warga asing di taman perumahan juga menyebabkan setengah kawasan sering diserang wabak denggi dan secara tidak langsung wujud komuniti warga asing dan mereka sudah mula berjinak-jinak untuk berniaga. Persoalannya, kenapa kebergantungan industri terlalu tinggi pada warga asing ini? Warga negara kita terpaksa berkongsi segala kemudahan awam dengan warga asing. Ini yang sedang berlaku. Jadi apa pemantauan, garis panduan atau penguatkuasaan terhadap pemain-pemain industri ini? Saya amat berharap perkara ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri demi kepentingan rakyat di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lagi ialah berkaitan usaha kerajaan membaik pulih gelanggang-gelanggang futsal dalam keadaan uzur. Kesejahteraan sosial masyarakat tidak dapat ditingkatkan jika kemudahan infra awam Johor berada dalam keadaan uzur dan daif. Parit Raja terima kasih kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat, Rancangan Khas (RKK) yang disusun melibatkan keseluruhan pekan kecil bagi daerah Batu Pahat dan Parit Raja menyokong pembinaan TMIYC, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre Daerah Batu Pahat yang bakal ditempatkan di kawasan baharu Bandar Pura Kencana agar dapat direalisasikan untuk menjadi lokasi tumpuan baharu bagi acara tahunan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja ingin ucapkan tahniah atas usaha kerajaan negeri yang telah berjaya mencipta rekod untuk mendapatkan hasil RM2 bilion. Tahniah juga kepada kakitangan awam yang telah banyak membantu memastikan kejayaan ini. Walau bagaimanapun, isu dan masalah rakyat yang belum berjaya diselesaikan masih di tahap yang sangat perlu diperbaiki. Perkara ini dilihat bila Yang Amat Berhormat MB serius untuk wujudkan satu Sistem Aduan Berpusat yang dipantau secara terus oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Ini menunjukkan betapa seriusnya Yang Amat Berhormat mahu selesaikan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat kerana kadang kala terdapat isu yang boleh selesai dalam jangka masa yang pendek dan ada pula yang memerlukan jangka masa yang panjang dengan kos peruntukan yang lebih besar.
Parit Raja, sila gulung.
Insya-Allah saya akan habiskan. Sebab apa Yang Berhormat Datuk Speaker? Jika bertangguh, kos pada masa akan datang juga akan lebih besar. Parit Raja menyambut baik saranan Yang Berhormat Kukup agar kakitangan awam dapat memperbaiki dan meningkatkan keupayaan serta kecekapan kita dalam membantu rakyat agar setiap keluh kesah rakyat dapat kita santuni. Sering kali aduan dari rakyat itu memang ada benarnya. Baharu-baharu ini saya ziarah seorang mangsa kemalangan yang katanya, YB mujur saya kena seorang diri, kalaulah saya kena kemalangan selepas ambil anak sekolah, saya tidak tahu apa nasib anak saya dan saya tak akan boleh terima ini. Jadi, tolonglah YB buat sesuatu tambah baik di jalan-jalan tertentu. Begitu juga bayangkanlah dia terpaksa mengalami kecacatan seumur hidupnya akibat keadaan perabot jalan yang tidak lengkap dan berisiko pula. Bukan kita tidak menerima takdir ketentuan dari Pencipta tetapi sebagai pentadbir dan pemimpin, apakah tindakan susulan kita untuk membantu? Peratusan jumlah peruntukan pembangunan yang agak kecil telah membantutkan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu tersebut kerana kekurangan peruntukan. Mungkin pada masa akan datang, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan untuk kurangkan peratus belanja mengurus agar peruntukan pembangunan dapat dinaikkan bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah keluarga besar Johor yang kita nak bantu, yang kita telah diberi tanggungjawab untuk bantu mereka mendapat kehidupan yang lebih sejahtera dan infra yang lebih selesa. Kita sedar dan insaf tiada kerajaan yang mampu memberikan segalanya. Akan tetapi, tanggungjawab kita sebagai pemimpin untuk mengambil pendirian patriotik membentangkan satu lembaran baharu demi masa depan Johor dan anak bangsanya. Sekali lagi Parit Raja ucap banyak terima kasih kepada semua jabatan dan agensi atas kesungguhan, komitmen dan kerjasama bagi tahun 2024. Namun, tugas kita di masa hadapan adalah cukup-cukup mencabar. Semoga Allah memberkati segala usaha kita untuk terus membangun dan memajukan negeri Johor. Sekian, Parit Raja mohon menyokong.
Terima kasih Parit Raja. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran pemerhati daripada kawasan DUN Tenang seramai 40 orang, sila bangun. Tiga orang daripada Sungai Balang dan lima orang daripada DUN Puteri Wangsa.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, diteruskan dijemput Yang Berhormat Endau.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Pertamanya, Endau mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas nikmat kesihatan yang baik dan kita dapat bersua lagi di Dewan yang mulia ini. Terima kasih jua Endau ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Spekaer kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam Sesi Perbahasan pada kali ini. Patik dan warga DUN Endau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta selamat hari ulang tahun keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduda Baginda Sultan Ibrahim yang jatuh pada 22 November yang lalu. Patik mendoakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kebijaksanaan, dilanjutkan usia dan diberikan keafiatan dalam menaungi sekalian rakyat, Daulat Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya apa yang akan dibahaskan ini adalah penting bagi memastikan pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan di kawasan Endau dapat diambil perhatian dan tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Di kesempatan ini, Endau mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan seluruh pasukannya kerana berjaya merangka, menyediakan dan membentangkan Belanjawan 2025 negeri Johor Darul Ta’zim bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera. Maka, besarlah harapan Endau agar segala unjuran, perancangan dan pengumuman dalam Belanjawan pada kali ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Johor dan sudah pasti memajukan lagi negeri yang kita cintai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara yang Endau ingin bawa pada kali ini, yang pertamanya adalah isu perumahan. Sekali lagi Endau ingin menarik perhatian pihak kerajaan negeri berkaitan isu ini. Endau tidak akan berganjak untuk terus membawa isu ini setiap kali sidang Dewan. Tidak kiralah dibahaskan atau pun ditanya secara lisan mahu pun bertulis ketika sidang Dewan. Alhamdulillah, Endau amat tekun mendengar dan membaca ucapan Belanjawan bermula di point 185, dengan izin, hingga point 198 dan Endau difahamkan Kerajaan Negeri memaklumkan akan menerima semua pandangan dengan hati yang terbuka. 30,000 unit dijangka dibina menjelang 2026, ketika ini sebanyak 13,461 unit RMMJ telah dibina tetapi berapa unit di Mersing telah terbina? Jawapannya tiada. Daripada point, dengan izin, yang dibaca pun tidak disebut akan dibina di Mersing. Kecewa sudah pasti YB Datuk Speaker, Mersing sering tercicir dalam soal perumahan ini. Bukan kita tak bangkitkan, bukan kita tak maklumkan, bukan kita tak pernah bawa isu ini. Macam Endau maklumkan sebelum ini, kawasan Endau dan Mersing ini kawasan luar bandar, ramai orang susah yang tak mampu nak beli rumah pemaju dan dijual ratus ribu.
Apa yang mereka harapkan adalah rumah murah yang mampu mereka beli sesuai dengan pendapatan mereka.
Dalam Bajet Johor ada sebut Program Rumah Prihatin Johor (RPJ). Kalau tengok setelah tolak, tambah, darab, bahagi, harga seunit akan dijual hanya RM50,000.00 sahaja. Molek benar dah tu Yang Berhormat Datuk Speaker, jika RPJ ini dilaksanakan di daerah Mersing. Endau amat berharap di atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan kerajaan negeri dalam menangani isu perumahan ini. Terutamanya kata Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, topik ini topik hangat Orang Muda Johor dapat diselesaikan sepenuhnya. Mersing dalam Johor, Mersing layak terima manfaat ini. Orang Endau perlu rasa hasil tangan kerajaan dengan anak didikan kami yang nun jauh di timur negeri Johor. Jadi, Endau pohon dan harap sangat agar Kerajaan Negeri dapat tengoklah mana-mana program perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan dapat dijalankan dan dilaksanakan di daerah Mersing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua adalah mengenai pertanian pemangkin pendapatan. Dalam usaha kita mempergiatkan ekonomi melalui Agenda Jaminan Bekalan Makanan, perkara asas yang mesti diberikan perhatian jua adalah berkenaan tanah. Petani luar bandar seperti di kawasan Endau pada kebiasaannya mampu mengusahakan projek tanaman berskala kecil sahaja sebab luas tanah tak besar dan ada yang sewa tanah orang sahaja. Contohnya, penanam tembikai hanya mampu usahakan tanah seluas tiga hingga lima ekar sahaja. Dengan luas tanah begitu, bagaimana mereka mampu dapatkan pulangan yang tinggi sekali gus mampu menjamin bekalan yang berterusan pada pasaran? Kita kena tengok dua aspek, jaminan kemakanan dan jaminan pendapatan petani. Sebab itu di kawasan Endau, Endau dah maklumkan sebelum ini berkaitan tanah milik Setiausaha Kerajaan Negeri Diperbadankan iaitu tanah SSI. Di kawasan Endau, Endau dimaklumkan ada banyak tanah SSI. Kerajaan kena kaji dan semak semula terma dan syarat pajakan bagi tanah ini. Mana yang perlu dikurangkan, kurangkanlah dan mana yang perlu dimunasabahkan, munasabahkanlah. Gunakan tanah ini semaksimum mungkin dalam Bajet Johor 2025 untuk sektor pertanian ini juga banyak diperuntukkan.
Endau juga nak sentuh berkaitan RM2 juta untuk pembangunan sawah negeri Johor di Kahang dan di Sungai Balang. Kalau boleh YB EXCO kawasan Endau pun juga dapat merasa duit ini, Endau ada dua kawasan sawah iaitu di Air Papan dan di Semalu. RM200,000.00 untuk tanaman kontan dan RM200,000.00 untuk pembangunan industri kelapa pun kalau boleh peruntukan ini juga dapat disalurkan kepada orang Endau, kawasan luar bandar sesuai sangat dengan projek-projek ini. Minta maaflah YB Datuk Speaker, Endau bukan nak bolot semua peruntukan yang ada, cuma nak bantu orang kampung. Kalau projek ini semua berjaya nanti Endau jemput juga YB Datuk Speaker datang healing-healing, dengan izin, ke kawasan Endau.
Yang ketiga, mengenai peruntukan kepada setiap Wakil Rakyat. Yang Berhormat Datuk Speaker, Endau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana berbesar hati tidak menafikan kami di barisan pengimbang untuk menerima peruntukan melalui Pejabat Jurutulis. Keikhlasan dan tilik pandang kerajaan kepada kami di barisan pengimbang amatlah dihargai. Peruntukan yang disalurkan kepada kami sesungguhnya kami manfaatkan sepenuhnya kepada rakyat. Peruntukan ini sudah pasti digunakan dalam membantu rakyat tidak kiralah untuk tujuan pendidikan, kesihatan, bencana, kematian sehinggalah bantuan dalam menyokong program-program anjuran masyarakat. Ini termasuklah peruntukan bekalan dan kerja kecil yang diberikan kepada masyarakat dalam memastikan objektif peruntukan itu terlaksana sepenuhnya. Bagi peruntukan pentadbiran pula ianya digunakan sepenuhnya untuk menampung bayaran gaji pegawai, sewaan serta utiliti pejabat. Maka jumlah RM100,000.00 untuk setahun yang dibahagi kepada 2 iaitu RM50,000.00 untuk pentadbiran dan RM50,000.00 untuk touch point
serta aktiviti adalah tidak mencukupi. Dalam keadaan ekonomi dan ketidaktentuan harga barang, rakyat sering datang ke pejabat Pusat Khidmat untuk memohon pertolongan. Jadi kalau boleh, Endau pohon agar peruntukan untuk setiap Wakil Rakyat dinaikkan jumlahnya daripada RM100,000.00 setahun kepada RM300,000.00 setahun.
Dalam pembentangan Belanjawan Johor, Yang Amat Berhormat juga telah mengumumkan bahawa sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan untuk 56 DUN bagi melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan. Harap yang ini dapat dimasukkan kepada kami di barisan pengimbang kerajaan dan bukan kepada penyelaras yang dilantik. Endau amat yakin kemampuan Kerajaan Negeri melalui kebijaksanaan pemimpin yang mentadbir negeri ini mampu merealisasikan apa yang Endau cadangkan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker yang terakhir seperti biasa dalam perbahasan Endau, Endau akan sentuh secara sekali lalu sahaja. Sekali lagi Endau memohon Yang Berhormat EXCO dan jabatan yang berkaitan boleh take note dengan izin serta mengambil tindakan sewajarnya. Pertama, Endau pohon pihak JKR dapat buat semakan dan pembaikan terhadap besi-besi penutup longkang di jalan. Hal ini kerana ada besi yang sudah bengkok, reput serta patah dan boleh membahayakan pengguna jalan raya. Mengambil contoh baru-baru ini, Endau dapat aduan di hadapan Surau Jalan Ismail, besinya sudah bengkok ke dalam sudah dua hingga tiga kemalangan berlaku di kawasan tersebut. Pihak surau dah buat aduan dan dipohon lah pihak JKR boleh buat pemeriksaan di seluruh jalan dalam kawasan Mersing ini. Kalau ada yang perlu ditukar baru, sebab benda ini dah uzur maka tukarkan lah sebelum ia meragut nyawa orang.
Kedua, Endau pernah bangkitkan isu bayaran elaun petugas sukarelawan JKM, kita semua tahu hampir 60 ke 70 peratus pengurusan di pusat pemindahan sementara banjir diuruskan dengan bantuan pihak sukarelawan tanpa sebarang bayaran. Jadi Endau pohon kalau boleh kerajaan sediakan sejumlah peruntukan khas untuk pembayaran elaun kepada mereka. Elaun ini disediakan dan beri sebagai penghargaan kepada mereka. Kita nilai atas sumbang bakti, pengorbanan mereka dalam membantu menguruskan masyarakat tidak kira siang atau malam. Endau memohon Yang Berhormat EXCO Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat memperhalusi perkara ini.
Ketiga, isu serangan gajah kebelakangan ini, gajah telah mula masuk ke dalam kawasan kampung. Ada tanaman belakang rumah pun dah dimusnahkan oleh haiwan ini. Kalau bab kebun jangan cakaplah, banyak kemusnahan. Endau mohon kerajaan dapat fikirkan kaedah yang terbaik dalam menangani hal ini, sediakan pusat perlindungan atau kawasan yang bersesuaian dengan habitat ini. Kita pun sedia maklum kos untuk pengurusan penangkapan dan pemulihan juga sangatlah tinggi. Jadi, Endau mohon agar satu peruntukkan khas dapat disediakan bagi segala operasi penangkapan dan pemindahan serta ada peruntukkan disediakan untuk menampung makan dan minum petugas yang kadang kala operasinya berhari-hari.
Satu lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, Endau mencadangkan agar kerajaan menyediakan peruntukan secara one-off dengan izin kepada mangsa-mangsa yang kemungkinan tanaman atau hasil pertaniannya rosak diserang haiwan ini. Selain itu, ianya juga boleh disalurkan kepada mangsa yang mungkin hartanya rosak disebabkan kacau ganggu ini. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat meminimumkan kos kerugian mangsa.
Yang keempat, terima kasih pihak JPS yang telah menyelenggara parit dan sungai dalam kawasan Endau. Endau berharap dengan penyelenggaraan ini dapatlah kita kurangkan risiko berlakunya banjir pada tahun ini. Endau juga berharap agar kerajaan dapat turunkan lagi peruntukan untuk projek-projek penyelenggaraan parit dan sungai ini. Terima kasih JPS Johor dan terima kasih JPS Mersing.
Yang kelima, mohon pihak KPLB dapat banyakkan lagi pemasangan lampu-lampu jalan dalam kawasan-kawasan kampung. Banyak lagi jalan-jalan kampung yang gelap ini demi keselamatan orang-orang kampung juga. Pencahayaan yang baik dan terang dapat memudahkan pergerakan orang kampung pada waktu malam. Jadi mohon Yang Berhormat EXCO Luar bandar dan KPLB dapat mempertimbangkan permohonan ini.
Yang keenam, berkaitan Mesyuarat Tindakan Dewan Undangan Negeri. Hal ini merupakan inisiatif ke 37 kerajaan negeri. Objektifnya adalah memperkukuh tadbir urus peringkat akar umbi dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu-isu berskala kecil yang dibangkitkan oleh rakyat. Namun begitu, persoalannya siapakah ahlinya? Pelaksanaan MTD ini sudah pun dimulakan tahun ini. Endau confuse dengan izin pasal hal ini. Pada sebelah pagi jemput Endau, tengah hari confirm kata Endau, tiba masa petang pula cakap Endau tak boleh masuk sebab hanya penyelaras DUN sahaja mewakili DUN. Jadi MTD ini untuk siapa? Wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat atau penyelaras DUN lantikan politik. Endau mahukan jawapan rasmi daripada pihak kerajaan. Ada hitam putih daripada kerajaan siapa yang layak masuk mesyuarat MTD ini. Ini masa bekerja, saya menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor agar hal rakyat jangan dipolitikkan, semua kena bekerjasama.
Yang Ketujuh, berkaitan dengan Tabung Haji di daerah Mersing. Tabung Haji telah menutup sepenuhnya pengoperasian di daerah Mersing. Jadi kalau ada urusan berkaitan Tabung Haji rakyat perlu ke daerah lain yang ada Tabung Haji, itu tak apalah Yang Berhormat Datuk Speaker, masalahnya kursus haji pun tak ada dibuat di Mersing. Bakal tetamu Allah daerah Mersing terpaksa menumpang kursus ke daerah lain. Kadang-kadang ada yang dah lanjut usia tak ada kenderaan nak pergi jauh-jauh. Jadi kalau boleh Yang Berhormat EXCO Agama mohonlah Tabung Haji buat kursus bakal haji di daerah Mersing. Kebiasaannya kursus haji ini diadakan di Masjid Kampung Sri Lanang. Jadi, Endau mohonlah agar permudahkan urusan mereka yang akan menjadi tetamu Allah ini.
Kelapan dan yang terakhir, Endau nak ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menyalurkan sejumlah peruntukan kepada Wakil Rakyat yang kawasannya berisiko banjir pada akhir tahun 2023. Sesungguhnya peruntukan tersebut amat membantu kami dalam menguruskan dan membantu mangsa banjir di kawasan kami. Maka bermula monsun timur laut November ini sehingga Mac tahun hadapan. Justeru, diharapkan agar pada tahun ini peruntukkan yang sama juga dapat disalurkan kepada kami. Terima kasih kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setakat ini sahajalah apa yang Endau ingin bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini. Endau sentiasa menginsafi bahawa setiap pemimpin sentiasa ada kelebihan dan kelemahannya. Segala kelebihan yang ada Endau akan terus perjuangkan untuk membawa suara hati rakyat Endau di Dewan ini. Manakala segala kelemahan yang ada pula akan sentiasa Endau perbaiki daripada masa ke semasa. Terima kasih kepada yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pengumuman peruntukkan untuk daerah Mersing. Kawasan Endau tidak terkecuali menerima pelbagai pembangunan daripada pihak kerajaan.
Di kesempatan ini juga, Endau merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Johor di daerah Mersing, petugas keselamatan dan badan-badan sukarelawan bukan kerajaan yang sentiasa bersama dalam menjaga kebajikan orang Endau. Selamat bertugas kepada semua yang akan bertugas pada monsun timur laut ini. Semoga negeri Johor akan dilindungi daripada sebarang bala bencana serta musibah yang memudaratkan. Akhir kalam, terima kasih sekali lagi atas peluang perbahasan pada kali ini semoga kerajaan mengambil perhatian dengan seluruh inti pati ucapan Endau sebentar tadi. Kepada Allah kita semua berserah, Allah peliharakan Sultan. Endau menyokong. Wabillahitaufik walhidayah, wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Endau, dijemput Yang Berhormat Panti.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Terima kasih Datuk Speaker. Pertamanya Panti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor serta barisan EXCO atas satu pembentangan Belanjawan Johor 2025 yang lebih baik bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera. Belanjawan ini hadir dengan 6 teras merangkumi 244 inisiatif. Setinggi-tinggi tahniah juga untuk seluruh warga perkhidmatan awam negeri yang dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani atas khidmat cemerlang selama ini dengan berbekalkan pencapaian hasil negeri yang tinggi tahun ini iaitu diunjurkan sebanyak lebih RM2 bilion. Panti yakin kerjasama erat Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan EXCO serta barisan perkhidmatan awam dan seluruh warga Johor maka impian bagi mengapai Johor Maju 2030 adalah tidak mustahil sama sekali.
Keduanya, Panti mengambil peluang sebelum meneruskan perbahasan untuk merafak sembah, merakamkan ucapan Selamat Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Panti berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia serta sentiasa dalam rahmat Allah SWT dalam menaungi negeri Johor dan negara Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan pada hari ini Panti ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan sesuatu sebagai penambahbaikan untuk diberi pertimbangan dan dilaksanakan. Perkara yang ada secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya dari Panti. Sebelum itu, Panti sekali lagi ingin menyentuh isu kos sara hidup, isu yang saban tahun Panti bangkitkan bagi perhatian Kerajaan Negeri khususnya. Tahniah kepada Kerajaan Negeri atas usaha beberapa inisiatif bagi kita memastikan rakyat tidak terus terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi. Sesungguhnya inisiatif seperti Jualan Kasih Johor yang diperkasakan dan penambahan beberapa inisiatif lain seperti Bantuan Kewangan Bulanan, Dapur Kasih, Bantuan Sara Hidup, Belanja Dapur Asnaf, Bantuan Sewa Rumah dan sebagainya seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Khamis lalu amatlah dialu-alukan. Namun, walau sebanyak mana pun inisiatif atau bantuan yang diberi jika kos sara hidup terus meningkat ianya serba sedikit akan mengurangi impak positif yang baik ini. Pihak yang tidak bertanggungjawab sudah tentu akan menaikkan harga barang atas pelbagai alasan. Contohnya dengan penstrukturan semula subsidi diesel pihak ini memberi alasan harga diesel yang tinggi menyebabkan kos mereka naik dan menghalalkan tindakan mereka untuk menaikkan harga barang. Proses kenaikan ini akan sekali lagi berulang dengan penstrukturan semula subsidi lain pada masa akan datang. Maka Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan tegas bagi memastikan pihak ini tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Aspek penguatkuasaan perlulah dipertingkatkan oleh agensi berkaitan mungkin negeri boleh mengambil inisiatif sendiri dalam mengambil tindakan penguatkuasaan ini kerana ini bukanlah isu yang baru. Ianya saban kali dibangkitkan tetapi perkara yang sama masih lagi berulang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, teras pertama merupakan satu perkara yang sangat penting dalam kita mengurus negeri Johor. Panti mengalu-alukan pelbagai inisiatif yang telah dibentangkan dalam teras pertama ini, seperti yang Panti bangkitkan dalam perbahasan belanjawan tahun sebelum ini. Perkhidmatan awam yang responsif melalui komunikasi antara kerajaan dan rakyat merupakan elemen yang penting, Panti mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana memperkasa perkara ini dengan memperkenalkan inisiatif ketiga belas dengan mewujudkan Pusat Aduan Bersepadu negeri Johor. Panti berharap pusat ini dapat dilaksanakan dengan baik agar dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Johor kelak. Konsep yang hendak dilaksanakan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing kerana ianya diguna pakai secara meluas di dalam sektor swasta khususnya oleh syarikat-syarikat besar. Sebarang aduan, dalam konteks ini oleh rakyat akan direkodkan dengan terperinci termasuk rekod masa dan waktu ianya diadukan selepas
itu aduan tersebut akan bergerak mengikut agensi atau jabatan yang berkaitan sehingga lah aduan tersebut dapat diselesaikan. Yang paling utama setiap perkembangan tentang aduan perlulah di dalam makluman pengadu dan seperkara yang paling penting aduan perlulah diselesaikan atau diberi tindakan sewajarnya mengikut tempoh masa yang dipersetujui dan ditetapkan. Panti berdoa agar inisiatif ini dilaksanakan dengan baik dan berupaya meletakkan Johor sebuah, sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja maju malah sebuah negeri yang mempunyai tahap kesejahteraan yang paling tinggi di dalam negara. Seterusnya dalam Inisiatif keempat puluh tiga, kerajaan tampak komited untuk meningkatkan terimaan hasil tahun 2025 bagi manfaat negeri pada masa akan datang. Ini satu usaha yang baik dan menunjukkan kerajaan peka kepada pentingnya usaha seperti ini.
Selain daripada itu, kerajaan juga perlu untuk lebih berani meneroka sumber baharu dalam meningkatkan hasil sebagai contoh, mewujudkan solar farm dengan izin, di atas tanah-tanah kerajaan yang masih belum diguna pakai. Ada banyak contoh usaha seperti ini yang telah berjaya di dalam negara yang mana sumber tenaga yang dijana selain dari digunakan dapat dijual kepada agensi berkaitan. Di Panti kita sememangnya ada kawasan seperti ini yang berpotensi untuk kita jayakan jika kerajaan mendengar cadangan ini mohon untuk pertimbangkan Panti punya kawasan yang pertama bagi usaha tersebut. Sebenarnya banyak lagi yang boleh diteroka bagi menambah hasil seperti yang berulang kali dibangkitkan dan dicadangkan rakan-rakan dalam Dewan ini khususnya oleh Yang Berhormat Benut dalam perbahasan-perbahasan beliau. Selain daripada hasil dipertingkatkan kerajaan juga perlu melihat semula bagaimana penjimatan kos dapat dilakukan. Mungkin dari aspek penggunaan tenaga, penggunaan tenaga solar di bangunan-bangunan kerajaan, penggunaan kenderaan EV sama ada kenderaan rasmi atau pun pengangkutan awam mungkin dapat memberi impak dan menurunkan kos.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Kedua Inisiatif Tiga, kerajaan serius dalam mempromosi Johor sebagai destinasi utama pelaburan. Satu usaha yang sekali lagi amat baik dan wajar namun, Panti memohon agar usaha promosi yang dilakukan dapat mengambil kira kawasan di luar dari Johor Bahru khususnya kawasan seperti Panti contohnya di Bandar Tenggara yang berpotensi utnuk merima pelaburan besar dari luar. Panti mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan inisiatif khas bagi pelabur yang bersedia untuk melabur di kawasan-kawasan luar bandar seperti di Panti. Tanpa sebarang inisiatif kebiasaannya pelaburan yang diterima di luar bandar kebanyakan adalah pelaburan dalam industri yang berisiko tinggi dari segi bahan buangan kilang, penggunaan bahan berbahaya kerana tidak boleh dibuat berhampiran kawasan bandar. Banyak kesan sampingan industri-industri ini seperti pencemaran alam dan pasti akan mengganggu eko sistem hutan, sungai dan sebagainya.
Bagi inisiatif dua puluh lapan di dalam Teras Kedua promosi dan publisiti Tahun Melawat Johor 2026 tidak dinafikan satu perkara yang amat penting dan perlu dilaksanakan. Namun, hasil penelitian Panti dengan mengambil kira zaman teknologi dan maklumat di hujung jari Panti tidak nampak satu tindakan yang betul-betul serius dilakukan menggunakan semua platform digital sama ada melalui media sosial atau laman web, Facebook milik Visit Johor 2026 sangat tidak menarik hanya memaparkan program yang kadang kala tiada kaitan dengan pelancongan itu sendiri. Follower dengan izin, juga amat sedikit sekitar 1.1k sahaja.
Begitu juga dengan laman web visitjohor2026.com yang pautannya dapat dilihat melalui Facebook Visit Johor 2026 apabila kita klik ia hanya akan membawa ke satu nama domain yang belum dibangunkan. Panti berharap ianya dapat diperbaiki segera kerana laman web dan media sosial bagi perkara sangat penting. Jangan tunggu pelancaran baru hendak memperkenalkan kerana perkara ini mengambil masa untuk ia berkembang menjadi satu pusat bagi memberi maklumat yang terbaik kepada pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Maklumat seperti tempat yang boleh dikunjungi, bagaimana dari segi penginapan, bagaimana pula hal pengangkutan, acara atau program yang diatur serta maklumat lain adalah antara yang dicari oleh pelancong bagi mereka merangka tentatif
perjalanan percutian mereka. Salah satu kaedah lain yang dilihat berkesan ialah strategi kolaborasi juga boleh diambil dan diusahakan contohnya kolaborasi dengan pelbagai platform dan market place khususnya yang berkaitan dengan pelancongan seperti group.com dan trip.com.
Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui Teras Ketiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial, Panti ingin mengucapkan setinggi tahniah atas segala inisiatif yang dibentangkan. Khususnya inisiatif yang melibatkan kebajikan Orang Asli secara umumnya. Inisiatif keempat, inisiatif kedua puluh tujuh dan inisiatif ke dua puluh lapan secara terus menyebut manfaat untuk Kampung Orang Asli. Ditambah dengan pelbagai inisiatif kebajikan khususnya membantu golongan asnaf serta miskin yang secara tidak langsung membantu Orang Asli di dalam mereka berhadapan dengan cabaran ekonomi waktu ini. Di Panti, ada tiga buah kampung Orang Asli yang rata-rata menjalankan aktiviti tradisi mereka seperti mencari hasil hutan dan menjadi nelayan darat. Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Kempas Menang dan Kampung Orang Asli Pasir Intan mempunyai lebih kurang 219 buah rumah dengan anggaran penduduk seramai 525 orang. Panti mohon tindakan lebih agresif pihak berkenaan iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli, JAKOA untuk melihat peluang khususnya peluang ekonomi bagi mereka ini. Ini kerana jika hendak diteruskan sumber mereka sebelum ini yang seperti Panti sebutkan tadi, iaitu hasil hutan dan nelayan darat ianya dikhuatiri semakin hari semakin sukar. Ini kerana banyak aktiviti melombong pasir berlaku di kawasan sekitar dan menyebabkan banyak hakisan sungai, penerokaan kawasan hutan baharu serta pencemaran sungai yang mengganggu eko-sistem sama ada di sungai atau di hutan itu sendiri. Mungkin boleh Panti cadangkan kerajaan melalui inisiatif kemahiran dan TVET yang dijayakan pada hari ini dapat diperluaskan secara spesifik bagi masyarakat Orang Asli atau mungkin inisiatif galakan usahawan yang juga boleh diwujudkan khas untuk mereka Orang Asli.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya dalam Teras Empat yang memberi fokus kepada kemudahan dan keperluan asas Panti sekali lagi mengalu-alukan banyak inisiatif yang diumumkan. Antaranya adalah penyelenggaraan dan naik taraf jalan, dalam perbahasan ini Panti ingin maklumkan bahawa masih banyak lagi jalan di dalam Panti yang perlu diberi perhatian. Jalan-jalan kampung tradisi dan kampung Orang Asli masih perlu sama ada diturap atau pelebaran. Ada satu jalan dari simpang air terjun ke simpang Inas, yang merupakan jalan utama menghubungkan banyak kampung FELDA dan kawasan-kawasan penempatan selalu rosak dan berlubang ini disebabkan jalan ini digunakan oleh banyak lori sampah khususnya yang membawa sampah dari kawasan Kota Tinggi sendiri, sampah dari kawasan Kluang, sampah dari kawasan Pontian dan sampah dari kawasan Simpang Renggam ke tempat pelupusan sampah Batu 4.
Bukan sahaja isu jalan yang sering diperbaiki banyaknya lori sampah ini menyebabkan pelbagai isu keselamatan sebagai contoh, di simpang kampung masuk ke Kampung Orang Asli Kempas Menang dengan keadaan jalan yang sempit, penduduk kampung yang rata-rata menggunakan motosikal dan terpaksa berhenti sebelum masuk ke persimpangan kampung berhadapan dengan risiko apabila lori yang lalu sangat rapat. Ini belum di kira lori yang membawa muatan pasir dari lombong-lombong pasir sekitar kawasan tersebut. Panti mohon agar adanya pertimbangan kerajaan untuk menaik taraf jalan ini. Setidak-tidaknya perlebaran bagi jalan khususnya jalan-jalan yang ada persimpangan masuk ke kampung-kampung dan FELDA sepanjang jalan ini. Antaranya simpang masuk ke Kampung Desa Makmur, simpang ke Kampung Semangar, simpang ke Kampung Orang Asli Kempas Menang, simpang ke Kampung Orang Asli Pasir Intan, simpang ke Kampung Orang Asli Sayong Pinang, simpang ke FELDA Linggiu dan simpang ke FELDA Penggeli dan FELDA Sungai Sibol.
Inisiatif meningkatkan luas capaian internet dengan perlaksanaan wifi premium Maju Johor juga sangat baik dan diharapkan dapat diperluas pelaksanaannya merangkumi daerah lain
khususnya daerah Kota Tinggi. Contohnya di bandar Kota Tinggi atau sekitar Bandar Tenggara yang berada di dalam kawasan Panti.
Inisiatif ke dua puluh empat dalam teras ini iaitu Pembangunan Infrastruktur Asas Lot Kediaman Generasi Kedua FELDA, Panti juga memohon dipertimbangkan untuk dilaksanakan bagi kawasan lot generasi kedua di FELDA Sungai Sibol yang juga memerlukan infrastruktur tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Lima melalui inisiatif ke tiga belas Transformasi Sungai Johor menyatakan usaha kerajaan bagi mengatasi isu pencemaran iaitu Sungai Skudai, Sungai Tebrau dan Sungai Kim Kim, Panti sekali lagi memohon agar usaha mengatasi pencemaran ini dapat di perluas ke sungai-sungai lain khususnya sungai yang berhampiran dengan kediaman penduduk atau sungai yang digunakan sebagai sumber air. Ini termasuk sungai-sungai di kawasan Panti yang semua sedia maklum saban kali berhadapan dengan isu pencemaran, sama ada berpunca dari bahan buangan kilang atau pun apa yang terjadi baru-baru ini di mana ada lori membawa sisa kimia datang dan membuang sisa tersebut sehingga menyebabkan bukan sahaja pencemaran sungai malah pencemaran bau yang menyebabkan masalah kesihatan di Kampung Orang Asli Pasir Intan.
Selain mengatasi isu itu aspek pemulihan eko sistem juga perlu disegerakan. Ini kerana sungai di antaranya punca pendapatan khususnya bagi nelayan darat dari kampung-kampung sekitar. Selain tindakan yang dinyatakan, Panti juga memohon adanya satu dasar di peringkat negeri yang jelas. Waktu kini aspek penguatkuasaan banyak menggunakan akta yang di peringkat persekutuan namun masih ada beberapa kekurangan yang Panti rasa perlu diberi perhatian segera sebagai contoh, di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pindaan 2024 isu pencemaran bau masih tidak dapat dikuatkuasakan sebaiknya kerana tidak dinyatakan secara spesifik di dalam akta tersebut. Ini menyukarkan banyak pihak atas sebab isu-isu yang timbul tidak dapat diselesaikan. Panti sering kali berhadapan dengan perkara ini sebagai contoh isu pencemaran bau berpunca dari sisa pembuangan kimia, pencemaran bau dari pusat pengumpulan sampah Batu 4 yang dekat dengan kediaman serta pencemaran bau berpunca dari kedudukan hampirnya ladang ternakan ayam komersial dengan kediaman. Maka, tugas kerajaan negeri penting untuk melihat aspek ini dengan memperkenalkan dasar yang merangkumi penyelesaian isu-isu pencemaran yang disebutkan.
Seterusnya dalam inisiatif tujuh belas, Panti sekali lagi mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas pengumuman geran komuniti rendah karbon. Ini selari dengan apa yang Panti bangkitkan dalam perbahasan lepas dan mencadangkan agar diwujudkan satu inisiatif berkaitan perkara ini. Panti menyokong apa yang Pemanis bahaskan pagi tadi dalam isu rendah karbon ini. Mungkin, pengumuman pada tahun ini hanyalah berjumlah RM700,000.00 dan bagi komuniti Iskandar Puteri, Panti berharap agar ianya dapat diperluaskan lagi kepada seluruh negeri Johor, Panti yakin kerajaan negeri tahu akan kebaikannya kepada negeri dan mampu melaksanakannya dengan lebih meluas agar Johor dilihat sebagai peneraju bagi perkara ini di dalam negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, teras keenam teras terakhir Orang Muda Johor merupakan satu teras yang tidak kurang pentingnya. Tahniah kerana banyak inisiatif khususnya di dalam sektor pendidikan mencerminkan betapa kerajaan mengambil berat akan pendidikan bagi menjamin generasi terbaik masa hadapan. Tahniah juga atas perkenalan Sekolah Rintis Johor di bawah inisiatif pertama, Panti doakan inisiatif ini berjaya dan dapat diperluaskan lagi ke seluruh negeri pada tahun-tahun akan datang. Dalam aspek ini Panti juga mengambil kesempatan untuk mencadangkan agar diwujudkan semula peperiksaan yang hampir sama dengan UPSR dan PMR sebelum ini. Panti maklum akan pendirian kerajaan pusat tentang perkara ini namun atas kepentingan yang Panti yakin memberi lebih banyak manfaat maka Panti mohon agar Kerajaan Negeri dapat usahakan sesuatu bagi diperkenalkan semula seiring dengan perkenalan Sekolah Rintis Johor. Biar Johor menjadi
peneraju dalam mentranformasi pendidikan bagi menghasilkan generasi masa hadapan yang lebih bersedia dan mampu menggalah tanggungjawab membangun negeri serta negara. Seperkara lagi yang Panti ingin cadangkan ditambah baik dalam Teras ini adalah berkaitan biasiswa dan pinjaman pelajaran di semua peringkat sama ada peringkat sekolah dan universiti.
Inisiatif ketujuh belas, lapan belas, dua puluh, dua puluh satu dan dua puluh dua merupakan inisiatif berkaitan perkara ini. Panti mohon pertimbangan kerajaan untuk mewujudkan biasiswa khas bagi masyarakat orang asli di dalam negeri Johor belajar atau melanjutkan pelajaran. Dengan adanya inisiatif seperti ini di harapkan masyarakat Orang Asli semakin hari semakin baik kehidupannya dan mampu bersaing dengan semua golongan dengan baik.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan pada kali ini Panti memohon maaf jika apa yang dicadangkan tidak sesuai atau dikira sangat remeh. Panti hanya menyampaikan segala pandangan yang diterima dari rakyat khususnya dari Panti tentang pelbagai isu termasuk perkara-perkara yang dibawa dalam belanjawan kali ini. Mungkin, jika tidak dapat dipertimbangkan sepenuhnya sekurang-kurangnya kerajaan dapat memperhalusi segala cadangan dan akhirnya satu penambahbaikan serta kaedah perlaksanaan yang terbaik dapat dibuat. Yang penting ianya memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Panti dan negeri Johor amnya.
Akhir sekali Panti mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas komitmen menjadikan semua inisiatif dalam Belanjawan 2025 sebagai KPI Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Satu tindakan yang baik dan dipuji. Ini menunjukan betapa seriusnya kerajaan pada hari ini dan sentiasa walk the talk dengan izin, Panti juga memohon agar setiap pencapaian sentiasa dapat diumumkan kejayaannya kepada rakyat dari masa ke semasa. Kesimpulannya Belanjawan 2025 yang dikemukan kepada Dewan ini oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada Khamis lalu perlulah disokong sepenuhnya. Panti menaruh 100 peratus keyakinan kepada kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi serta dibantu oleh barisan EXCO dan kepimpinan kakitangan awam yang diterajui oleh Yang Berhormat Tan Sri Azmi bin Rohani, mampu menterjemah segala inisiatif ini dengan baik dan cemerlang yang akhirnya membawa kebaikan kepada negeri Johor dan negara Malaysia amnya. Semoga segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT. Semoga dengan niat ikhlas kerajaan pada hari ini membantu rakyat, Allah SWT memakbulkan doa kita agar negeri Johor sentiasa aman, makmur dan terus kekal di bawah Barisan Nasional kini dan selamanya, Insya-Allah. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamuaikum warahmatullahi wabarakatuh, Panti mohon menyokong, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Panti. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Tenang.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada Tenang terlibat sama dalam Perbahasan Belanjawan 2025 pada hari ini. Tenang merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan ‘Maju Johor Rakyat Sejahtera’. Dalam masa yang sama juga terima kasih kepada Yang Amat Berhormat yang tidak melupakan Tenang dalam perancangan Belanjawan pada kali ini dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi projek pembaikan berhampiran kolam penenang atau stilling basin berhampiran Empangan Juaseh, Labis Segamat yang terletak di dalam kawasan DUN Tenang. Selain peruntukan tersebut, Tenang turut mendapat manfaat, inisiatif kesembilan belas, peruntukan RM2.2 juta untuk menaik taraf Taman Eko Rimba di mana turut melibatkan Taman Eko Rimba Taka Melor Labis yang merupakan salah satu daya
tarikan pelancongan di Tenang. Semoga dengan peruntukan yang disalurkan ini, membolehkan kerja-kerja menaik taraf kawasan rekreasi tersebut dapat dilaksanakan sekali gus dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung serta membuka peluang penduduk sekitar menjana pendapatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selepas meneliti Belanjawan Johor 2025, Belanjawan ini merupakan satu Belanjawan yang dirangka dengan mengambil kira keperluan serta suara hati semua golongan pelbagai peringkat bangsa Johor melangkaui batas agama, kaum tanpa menyisihkan mana-mana pihak. Selain itu, Belanjawan ini juga merupakan Belanjawan mampan dan realistik yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri berdasarkan unjuran pendapatan kerajaan negeri pada tahun 2025 melebihi RM2 bilion. Dengan unjuran perbelanjaan sebanyak RM1,999 bilion pada tahun 2025, berbanding unjuran pendapatan melebihi RM2 bilion, Johor sekali lagi mencatat sejarah belanjawan surplus dengan lebihan sebanyak RM5.12 juta pada kali ini, memberi gambaran jelas yang Johor berada di landasan tepat menjadi negeri maju menjelang tahun 2030 nanti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum meneruskan perbahasan, patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucapan selamat kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Baginda pada tanggal 22 November yang lalu. Patik dan seluruh rakyat Tenang berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja sekalian dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat menaungi seluruh rakyat bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri demi kepentingan dan kemaslahatan bangsa Johor. Ampun Tunku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang akan terus membawa dan memperjuangkan nasib dan kebajikan pegawai masjid dan surau dalam negeri Johor. Suara mereka merupakan suara akar umbi yang mungkin tanpa kita sedar tidak didengari. Segala isu dan cadangan yang dibawa ke dalam Dewan ini bukan isu di peringkat Tenang sahaja tetapi setiap isu yang dibawa memberi kesan kepada seluruh kawasan ADUN dalam negeri Johor. Ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh kepimpinan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Haji Ghazi, Menteri Besar Johor di atas pengumuman Belanjawan Johor dengan kadar kenaikan 100 peratus elaun pegawai masjid dan surau negeri Johor selain pemberian one-off RM500.00 kepada semua pegawai masjid dan surau negeri Johor termasuk penggerak masjid dan surau. Seperti mana yang telah dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kali terakhir kenaikan elaun pegawai masjid dan surau negeri Johor adalah pada 12 tahun yang lalu. Tahniah dan terima kasih sekali lagi diucapkan termasuk kepada Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor di atas sokongan dan keprihatinan yang telah diberikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, oleh yang demikian Tenang percaya pegawai masjid dan surau negeri Johor mengharapkan agar pihak kerajaan negeri dapat menambah baik sudut hal ehwal kebajikan mereka. Untuk makluman, setiap pegawai masjid dan surau yang mendapat tauliah Jabatan Agama Islam negeri Johor telah pun mendapat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial atau pun PERKESO daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Caruman ini bertujuan bagi melindungi setiap pegawai masjid dan surau apabila terlibat dengan kemalangan semasa bertugas. Mengikut arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Johor, Peraturan Pengurusan Kewangan dan Aset Masjid dan Surau negeri Johor Tahun 2019, Perkara Nombor 4 (4.3) Akaun Masjid dan Surau Hak Milik Majlis Agama Islam negeri Johor, Tenang mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pihak Agama Islam negeri Johor dan Jabatan Agama Islam negeri
Johor mempunyai hak dan boleh berbincang bersama pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja supaya dapat membuat satu ketetapan kepada pihak masjid, bahawa setiap masjid perlu membuat sumbangan atau caruman KWSP kepada pegawai masjid yang bertugas secara bulanan atas nama sebagai majikan. Cadangan sumbangan atau caruman yang boleh dilakukan secara minimum adalah seperti berikut, bagi imam satu cadangan caruman RM100.00, imam dua RM100.00, bilal RM50.00 dan noja RM30.00. Tenang percaya sumbangan atau caruman ini boleh dibuat penolakan secara automatik ke akaun KWSP pegawai masjid yang terlibat daripada akaun masjid yang telah didaftarkan oleh pihak KWSP. Pelaksanaan sumbangan atau caruman ini sebagai satu imbuhan simpanan pada masa akan datang jika mereka sudah bersara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kebajikan dari sudut pembangunan masjid dan surau yang sedia ada perlu juga dilihat. Kita semua sedia maklum kebanyakan masjid dan surau telah pun menjangkau puluhan tahun pembinaannya. Setiap tahun Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah negeri Johor iaitu TPMJ mengeluarkan belanja bagi membaik pulih masjid dan surau yang terpilih. Namun begitu, Tenang percaya banyak masjid dan surau sedang menunggu giliran untuk menerima bantuan baik pulih ini. Oleh itu, Tenang mencadangkan agar dapat dilaksanakan satu Geran Bantuan Khas Pembangunan Masjid Surau Johor yang bertujuan memberi bantuan kerja baik pulih secara terus tanpa menunggu proses permohonan yang lama. Syarat Geran Bantuan ini dapat dikhususkan buat bangunan masjid dan surau yang telah berusia lebih 25 tahun yang belum pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana sumber Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun ke belakang. Pihak Kerajaan Negeri boleh terus menyalurkan bantuan geran ini kepada setiap ADUN kawasan yang akan mengenal pasti masjid atau surau yang terpilih dengan mendapat khidmat nasihat daripada pihak pejabat kadi daerah masing-masing. Mohon pihak Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan dan memperhalusi sebaik mungkin cadangan ini demi menjaga kebajikan hal ehwal Bangsa Johor sejagat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks pembangunan di kawasan Tenang pula, Tenang berharap kerajaan negeri dapat memberi perhatian wajar kepada keluhan seramai 370 pemilik lot dua kawasan perkampungan baharu yang tidak boleh mendirikan rumah serta mendiami rumah yang siap dibina ekoran tidak tersedia kemudahan utiliti serta jalan di kawasan tersebut. Dua kawasan tersebut adalah Kampung Baru Melayu Batu 5, Jalan Labis- Muar dan perkampungan baharu Kampung Contoh Tenang Stesen Labis. Kampung Baharu Melayu Batu 5 Jalan Labis - Muar terdiri daripada 262 lot kediaman dengan kira-kira 10 hektar tanah rizab prasarana seperti masjid, balai raya, sekolah, tadika dan padang bola sepak yang mula dikurniakan oleh kerajaan negeri pada tahun 1986. Lebih 30 tahun tiada sebarang pembangunan di kawasan tersebut, yang tebiar jadi semak belukar sebelum beberapa tahun lalu pemilik berpakat mengeluarkan belanja sendiri untuk membersihkan kawasan serta membina jalan masuk tanpa diturap. Selepas itu, terdapat pemilik yang telah mendirikan rumah dan berhasrat untuk menetap di kawasan tersebut, memandangkan mereka tidak mempunyai kediaman lain di mana satu-satunya tapak kediaman yang mereka miliki adalah tanah tersebut. Setakat ini terdapat 70 buah rumah telah siap dibina dengan dua daripadanya telah diduduki sejak awal bulan ini dan apa yang menyedihkan, mereka terpaksa menggunakan air hujan yang ditadah serta lampu yang disolarkan yang murah pada waktu malam berikutan tiada bekalan elektrik dan air bersih. Selain itu, terdapat 16 permohonan Rumah Mesra Rakyat yang telah diluluskan tetapi kerja-kerja pembinaan tidak dapat dimulakan kerana tiada bekalan utiliti selain keadaan jalan yang tidak sempurna menyukarkan proses mengangkut bahan binaan. Memandangkan terdapat keperluan mendesak penduduk terutama golongan muda untuk memiliki rumah sendiri, saya amat berharap kerajaan dapat mencari jalan membantu menyediakan prasarana seperti jalan kampung berturap, kemudahan air terawat serta bekalan elektrik di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat satu lagi kampung baharu yang turut memerlukan prasarana iaitu perkampungan baharu Kampung Contoh Tenang Stesen Labis berkeluasan 108 lot kediaman yang dikurniakan kepada pemohon pada tahun 2013 sebagai penempatan
baharu bagi mangsa banjir di Tenang Stesen. Malangnya pemilik bukan sahaja tidak dapat mendirikan rumah kediaman, lantaran tiada kemudahan serta jalan di kawasan tersebut, malah kawasan tersebut juga merupakan kawasan yang dinaiki air ketika banjir berlaku. Pemilik perlu menambak tapak rumah mereka sebelum mendirikan bangunan kediaman. Sehubungan itu, besarlah harapan Tenang agar pihak kerajaan negeri memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh pemilik lot kediaman di kedua-dua kawasan kampung baharu tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang juga ingin menarik perhatian dan tindakan segera masalah cerun dan parit konkrit yang runtuh di Jalan Labis, Segamat berhampiran Pejabat Veterinar Labis. Masalah ini berlaku seawal tahun 2021 dan sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan. Walaupun JKR dan JPS daerah telah melawat tapak kejadian, keadaan runtuhan cerun yang dulunya sedikit kini semakin membesar dan menghampiri jalan utama. Kebimbangan Tenang jalan tersebut lama kelamaan akan runtuh dimaklumkan oleh Jurutera Daerah JKR Segamat, permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan cerun dan longkang konkrit ini telah dimajukan semula kepada Kementerian Kerja Raya pada 15 Ogos 2024 dengan kos projek sejumlah RM850,000.00. Tenang mengharapkan agar Kerajaan Negeri dapat membantu menyelesaikan masalah ini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya di jalan utama tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara terus kedengaran di sana sini, terutama golongan B40 dan M40 yang kian terhimpit dengan situasi ekonomi hari ini. Syabas kepada Kerajaan Negeri yang mewujudkan pelbagai program bagi meringankan beban kos sara hidup, antara langkah terbaik yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah mewujudkan Program Jualan Kasih Johor melalui penganjuran 300 program jualan di seluruh pelosok negeri dengan peruntukkan sejumlah RM5 juta sepanjang tahun 2024. Program ini telah berjaya memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 pengguna mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Namun penganjuran program ini hanya diadakan menjelang musim perayaan sahaja. Oleh yang demikian, Tenang mencadangkan agar peruntukan sedia ada bagi menjayakan Program Jualan Kasih ini ditambah bagi membolehkan ianya dapat diadakan dengan lebih kerap, mungkin setiap 2 atau 3 bulan sekali mengikut kesesuaian dan dalam masa yang sama program jualan menjelang musim perayaan tetap diteruskan seperti biasa. Program Jualan Kasih ini dilihat bukan sahaja mampu membantu pengguna malah secara tidak langsung dapat mengawal monopoli mana-mana pihak yang akhirnya akan bertindak menaikkan harga barangan sesuka hati. Terutama barangan yang tidak tersenarai sebagai barang harga kawalan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kekurangan beras putih gred super tempatan serta minyak masak paket 1kg bersubsidi di pasaran sejak hampir 2 tahun lalu terus menghantui pengguna di negeri ini. Rungutan mereka yang sukar mendapatkan kedua-dua barangan tersebut ada asasnya apabila tinjauan secara rambang yang dilakukan mendapati hampir tidak kelihatan beras gred super tempatan di pasaran. Situasi ini amat membebankan pengguna yang terpaksa membeli beras gred super import dengan harga yang lebih mahal sekitar RM3.50 hingga RM4.50 sekilogram berbanding beras gred super tempatan dengan harga RM2.60 sekilogram. Justeru Tenang mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif mengetatkan lagi penguatkuasaan agensi berkaitan di negeri ini bagi menggempur sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di semua peringkat termasuk di peringkat kilang, pembungkusan mahupun peruncitan bagi menjamin tiada sebarang penyelewengan berlaku dalam rantaian bekalan kedua-dua barangan tersebut di negeri ini. Dalam masa yang sama kerajaan negeri juga boleh mewujudkan satu pasukan khas bagi memantau rantaian pembekalan kedua-dua barangan tersebut bermula daripada penggilangan hinggalah kepada pengguna. Walaupun usaha membanteras sebarang salah laku ini dilihat seakan sukar kerana perlu melibatkan banyak pihak serta agensi, namun ianya bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan di negeri ini, kerana Johor tetap Johor dan mempunyai kaedah tersendiri dalam merungkai serta menangani sebarang masalah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, melihat kehadapan, Tenang penuh yakin semua perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2025 ini akan diperhalusi oleh kerajaan negeri dan semoga semuanya akan membawa kebaikan dan kemakmuran kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya. Bunga disemai hidup melata, dipetik jari gadis bertiga, Makmur Johor negeri kita, Bangsa Johor pastinya berbangga. Dengan ini Tenang menyokong. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih tenang, jemput Yang Berhormat Penggaram
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, memberi peluang kepada Penggaram mengambil perbahasan dalam Belanjawan 2025. Penggaram merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang jatuh pada tanggal 22 November lalu. Daulat Tuanku. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala bimbingan dan nasihat kepada barisan kepimpinan kerajaan Johor dalam menjaga kebajikan dan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Penggaram juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2025 dengan surplus sebanyak RM5 Juta dengan berpaksikan 6 teras yang merangkumi 244 inisiatif. Tahniah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui perbelanjaan ini Penggaram dapat melihat hala tuju kerajaan di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang ingin membawa negeri Johor ke arah kemodenan melalui pelbagai peruntukan dan inisiatif yang disediakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ingin mengutarakan perkara berkaitan kenaikkan taksiran nilaian harta yang sedang dijalankan oleh beberapa Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor. Ada sesetengahnya peningkatan taksiran nilai harta yang melonjak sehingga 200 peratus khasnya yang kategori komersial dan perindustrian sememangnya membebankan. Penggaram faham perkara ini dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk meningkatkan hasil kutipan cukai. Walau bagaimanapun, kenaikan nilai taksiran ini akan memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya akan memberi kesan terhadap peningkatan kos sara hidup.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2020, kita mengalami serangan wabak COVID-19 dan ia telah memberi impak kewangan kepada rakyat dan pada tahun 2023 Johor dilanda banjir terutamanya di daerah Batu Pahat. Semalam pula, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah mengeluarkan ramalan awal banjir di 10 buah daerah di negeri Johor dan pastinya ia akan memberi kerugian kepada rakyat. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerugian yang dialami rakyat sebelum ini masih belum lagi tertampung. Nasib mereka sehari dua ini dalam menghadapi Monsun Timur Laut pun masih belum diketahui tapi mereka telah dibebani dulu dengan cukai yang tinggi akibat peningkatan nilai taksiran. Kadang kala saya juga berasa tidak munasabah bagaimana nilai taksiran boleh meningkat walaupun sesuatu kawasan tersebut merupakan hot spot banjir kilat. Menurut laporan Ketua Audit Negara Suku Ketiga 2024, tunggakan cukai taksiran bagi tahun 2022 berjumlah RM604.36 juta mencatat peningkatan sejumlah RM14 juta iaitu 12.5 peratus berbanding pada tahun 2021 berjumlah RM537.22 juta. Sebanyak 10 PBT mencatat tunggakan cukai taksiran melebihi 50 peratus daripada jumlah kutipan cukai taksiran tahunan. Dengan kenaikan nilai taksiran ini Penggaram khuatir jumlah peratusan tunggakkan akan meningkat. Penggaram menyokong cadangan YB Stulang agar kerajaan mengehadkan setiap kali kenaikan hanya daripada 15 peratus hingga 30 peratus dan peningkatan secara berfasa dalam 5 tahun bukan secara drastik agar kenaikan ini lebih munasabah dan tidak terlalu membebankan rakyat. Perkara ini mampu menggalakkan kepatuhan pembayaran di mana rakyat akan cenderung membayar cukai tepat pada masanya sekaligus meningkatkan kadar kutipan cukai. Adalah
penting untuk memastikan dasar-dasar seperti ini dilaksanakan dengan adil agar tidak menambah kesenjangan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat tetap diutamakan oleh kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram maklum usaha dan tujuan Pihak Berkuasa Tempatan di dalam melaksanakan pemutihan premis perniagaan dan kilang. Penggaram maklum untuk sebuah bandar yang berterusan dan lestari memang proses pemutihan perlu dijalankan bagi menyelaras dan mengawas pembangunan setiap bandar. Walau bagaimanapun, polisi yang dijalankan perlu bersandar pada dasar tidak membebani rakyat. Penggaram berharap proses pemutihan ini dipermudahkan dan diringankan dari segi caj penalti dan permit Kebenaran Merancang tempoh terhad. Sebagaimana kerajaan telah menjalankan proses ubah syarat tanah melalui proses fast track. Di dalam proses menggalakkan para peniaga yang masih belum mendapatkan lesen perniagaan pihak MPBP telah memberi peluang kepada para peniaga untuk mengambil lesen sementara. Walau bagaimanapun, pihak MPBP telah mengenakan bayaran lesen sementara di mana nilainya 4 kali ganda setahun dari harga lesen biasa. Perlaksanaan seperti ini bukan dilihat untuk memberi galakan kepada para peniaga di dalam usaha untuk mendapatkan lesen biasa tetapi ianya adalah bentuk tekanan oleh kerajaan tempatan terhadap para peniaga. Lebih tepat saya katakan tindakan ini dilihat seperti membuli para peniaga kerana dengan bayaran 4 kali ganda terdapat peniaga merasakan perkara ini telah merosakkan keyakinan mereka untuk meneruskan lagi perniagaan. Penggaram memohon kerajaan khususnya EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar menasihati dan membimbing PBT di dalam melaksanakan proses pemutihan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semalam ada rakan di sebelah sana menyatakan ketidakpuasan hati apabila soalan tidak naik untuk sesi soal jawab. Penggaram rasa walaupun soalan tak naik di sesi soal jawab tetapi EXCO Kerja Raya masih memberi jawapan melalui jawapan bertulis. Penggaram ada bagi soalan pada sidang lepas kepada EXCO Kesihatan tetapi sehingga kini masih belum terima sebarang jawapan dan saya ingin mencadang penambahan masa untuk sesi soal jawab satu jam lagi sehingga tengah hari dan menambah hari Persidangan Dewan agar lebih banyak isu-isu yang dibangkitkan dapat dibangkitkan di dalam sidang yang mulia ini, Dewan yang mulia ini.
Di perbahasan ini berdasarkan Teras Ketiga, Jaringan Keselamatan Sosial, inisiatif ke sepuluh, sebanyak RM68 juta diperuntukkan untuk bantuan hemodialisis dan pemasangan tapak fistula. Di sini Penggaram nak bertanya terus kepada EXCO Kesihatan, berapakah ramai pesakit buah pinggang akan menerima bantuan ini? Sekarang pemasangan tapak fistula perlu dijalankan di hospital swasta dan memerlukan kos lebih kurang RM3,000.00. Bagi golongan B40 kos ini sangat berat untuk dikeluarkan dan memerlukan bantuan dari pihak kerajaan. Bagaimanakah bantuan ini disalurkan kepada rakyat? Adakah bantuan ini hanya disalurkan kepada golongan tertentu melalui Baitulmal atau MAINJ? Jika ya, bagaimana nasib pesakit yang bukan beragama Islam dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat tersebut?
Yang Berhormat Datuk Speaker, kelestari alam sekitar, kelestari alam sekitar merujukkan kepada usaha untuk menjaga, memelihara dan menguruskan sumber alam sekitar secara bijaksana agar generasi sekarang dapat memenuhi keperluan mereka tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan yang sama. Konsep ini berkait rapat dengan prinsip pembangunan lestari yang mencakup tiga dimensi utama alam sekitar, sosial dan ekonomi. Pembakaran terbuka merupakan salah satu isu utama yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar, kesihatan dan kualiti hidup masyarakat. Aktiviti ini sering berlaku akibat sikap yang tidak bertanggungjawab individu, sektor pertanian atau aktiviti pembangunan terutama di kawasan yang kurang penguatkuasaan undang-undang. Lebih mengecewakan lagi terdapat juga agensi-agensi kerajaan masih menjalankan pembakaran terbuka di bangunan-bangunan kerajaan.
Terdapat beberapa perkara yang mampu dilaksanakan oleh pihak kerajaan di dalam menjaga kelestari alam sekitar. Antara penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran awam. Sebelum ini Penggaram juga ada bertanya melalui soalan bertulis kepada kerajaan berkenaan pencemaran alam sekitar yang berkaitan pembakaran terbuka. Penggaram ada minta senarai aduan dan diterima, yang diterima berkaitan pembakaran terbuka di negeri ini. Ada berapa banyakah notis yang telah dikeluar dan tindakan yang diambil? Tetapi sehingga ini Penggaram masih belum menerima sebarang jawapan. Penggaram ingin menegur kaedah yang digunakan untuk menerima sebarang aduan berkaitan pencemaran alam sekitar kepada Jabatan Alam Sekitar. Ketidakcekapan tindakan yang diambil atas setiap aduan telah menjadikan masyarakat sama ada individu mahupun swasta telah memandang ringan terhadap aktiviti pembakaran terbuka. Penggaram mencadangkan Kerajaan Johor mewujudkan satu talian aduan, hotline untuk menerima aduan pencemaran alam sekitar yang berlaku di negeri ini agar setiap aduan yang dibuat oleh rakyat dapat sampai ke pengetahuan kerajaan dengan serta merta. Hasrat ini selari dengan tujuan kerajaan yang memperuntukkan RM1.5 juta untuk menyediakan pusat aduan bersepadu di negeri ini.
Penggaram berharap langkah yang lebih efektif ini bermula daripada mempermudahkan setiap aduan sehinggalah keberkesanan tindakan atau pun penguatkuasaan yang dijalankan dapat memberi impak yang baik di dalam kita menjaga kelestarian alam sekitar. Selain itu, Penggaram memuji inisiatif kerajaan di dalam melaksanakan program Johor Bersih. Namun, Penggaram berharap agar program Johor Bersih ini diterus dan diperluas bukan hanya tertumpu kepada aktiviti pembersihan alam sekitar tetapi turut melibatkan kesedaran awam dan pendidikan. Usaha kolektif iaitu kesedaran bersama serta penguatkuasaan yang efektif adalah kunci untuk mengurangi pencemaran dan memelihara kelestari alam sekitar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya telah meneliti jawapan dari YB EXCO Pertanian semalam yang menyatakan bahawa kerajaan terdapat banyak GLC kerajaan yang bersedia untuk menerima rancangan ataupun menerima proposal daripada mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian yang bersesuaian mengikut GLC berkenaan. Salah satu yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat EXCO Pertanian adalah Johor Biotech yang memaklumkan sekarang ini sedang menjalankan lima projek pertanian melibatkan tiga belas syarikat swasta.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menurut rumusan keseluruhan audit berdasarkan Laporan Audit Ketua Negara Suku Ketiga Tahun 2024, pencapaian KPI keuntungan JBH sebelum cukai adalah kurang memuaskan. Dimana sasaran keuntungan sebelum cukai hanya dicapai pada tahun 2020. Bukan itu sahaja, pencapaian usaha sama dan pajakan jurang memuaskan kerana lima daripada sembilan projek dalam hutan tidak ditanam pokok getah, balak dan kemajuan satu projek hanya mencapai 7.7 peratus. Bagi projek pertanian, ternakan dan akuakultur pula terdapat 16 daripada 30 projek tidak dilaksanakan mengikut perjanjian. Pencapaian pulangan hasil adalah kurang memuaskan kerana pulangan yang diterima sebanyak 36 peratus bagi projek dalam hutan dan 0.6 peratus bagi projek pertanian ternakan dan akuakultur. JBH tidak menerima pulangan pelaburan dari dalam subsidiari kerana kesemua empat syarikat subsidiari merekodkan kerugian terkumpul pada tahun 2022 dan data syarikat subsidiari juga tidak dikemas kini. Penggaram berharap agar kerajaan mengambil langkah seperti yang telah disarankan dalam laporan audit tersebut dengan mengkaji semula pelaburan kerajaan dan kepentingan JBBC di dalam JBH. Perkara ini termasuk menentukan hala tuju syarikat dan KPI dengan jelas sekiranya JBH ingin kembali berdaya saing di dalam industri.
Selain itu, sekiranya JBH kekal sebagai syarikat di bawah JBBC, kajian semula perlu dilaksanakan terhadap model perniagaan JBH serta memantapkan amalan tadbir urus korporat bagi mempergiat usaha perniagaan serta pelaburan. Penggaram berharap dengan menjalankan sasaran dan langkah yang diberikan, kerajaan mampu untuk terus mempertingkatkan hasil sekaligus menyumbang kepada ekonomi pertanian negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram amat tertarik dan berterima kasih dengan beberapa inisiatif kerajaan di dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa buat rakyat. Di bawah Teras Ketiga, Jaringan Keselamatan Sosial melalui beberapa inisiatif seperti Program Rumah Prihatin Johor. Di mana sebanyak 112 unit RPJ akan dibina dengan kos RM75,000.00 hingga RM95,000.00 seunit. Bagi penduduk di kawasan pinggir bandar, terdapat rakyat yang masih menginap di rumah yang tidak selesa dan perlu untuk rumah tersebut dibina baru. Walau bagaimanapun, terhadap syarat yang sedia ada seperti isu milikan tanah dilihat menjadi halangan di dalam membantu rakyat untuk mendapat manfaat ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka ini orang susah. Ada yang berpendapatan rendah dan ada juga yang warga emas. Mereka ini mendiami rumah pusaka yang berdiri di atas tanah milik turun temurun datuk nenek mereka. Justeru, Penggaram mengesyorkan agar kerajaan mengkaji dan memberi kelonggaran syarat khususnya berkaitan milikan tanah bagi membantu golongan ini mendapatkan manfaat yang disediakan oleh kerajaan atau Penggaram mencadangkan golongan yang mempunyai halangan berkaitan isu milikan tanah ini diberi keistimewaan untuk menerima sebuah rumah di bawah program Rumah Mampu Milik Johor yang bernilai RM80,000.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram berterima kasih atas usaha kerajaan seperti inisiatif ketiga puluh tujuh, Teras Pertama bagi mewujudkan urus tadbir kerajaan dengan baik. Kewujudan Mesyuarat Tindakan DUN selain memperkukuhkan tadbir urus di peringkat akar umbi, ianya merupakan salah satu platform untuk ADUN dalam usaha menyelesaikan sesuatu isu di kawasan. Objektif mempercepatkan penyelesaian isu-isu berkala kecil yang dibangkitkan oleh rakyat melalui ADUN dapat dilihat kerajaan serius di dalam mendengar rintihan dan suara rakyat di peringkat akar umbi. Semoga isu-isu yang dibangkit oleh Penggaram seperti kepentingan penyediaan dan penyelenggaraan parit-parit dan saliran utama di bandar Batu Pahat telah diambil perhatian dan tindakan oleh kerajaan. Dan ia memerlukan peruntukan sebanyak RM850,000.00. Selain itu, Penggaram berharap agar terdapat peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaiktarafan serta penyelenggaraan kolam-kolam takungan di mana ia amat penting di dalam mengurangi risiko banjir di bandar Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata, Penggaram berharap agar Johor terus maju, bermuafakat serta dihindari dari budaya dan anasir pelampau yang dimainkan oleh sesetengah pihak ketika ini. Kita Bangsa Johor perlu kekal dengan cara Johor. Muafakat ini berkat, semoga Allah berkati Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Seterusnya dipersilakan, Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sebelum memulakan perbahasan Belanjawan 2025, patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena ulang tahun hari keputeraan ke Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada tanggal 22 November yang lalu. Sungguh negeri Johor ini bertambah maju, makmur dan sejahtera dengan kesihatan dan kesejahteraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang terus memayungi kerajaan Johor dengan rimbunan ketaqwaan kepada yang maha kuasa. Patik juga menjunjung cermat dan kasih atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang terus mencerminkan kepimpinan dan kebijaksanaan buat patik dan sekalian Bangsa Johor semua. Allah Peliharakan Sultan. Amin ya robbal alamin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan perbahasan Belanjawan Johor 2024 ini, saya ingin memberi penekanan kepada hal-hal penting yang saya fikir akan menjadi dasar kepada masa hadapan Johor. Bermula dengan perhatian penuh kepada pembangunan generasi Johor yang berdaya saing seterusnya urus tadbir Johor yang cermat dan cemerlang kepada menjadikan Johor sebagai pusat tumpuan dunia, tidak kira dalam hal alam sekitar mahupun pelancongan. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh penjawat awam negeri Johor yang telah bersama-sama menghasilkan belanjawan Johor dan telah dibentangkan dengan sempurna oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Jasa kalian semua dan pembanguan negeri Johor terus menjadi cerminan dalam rekod rasmi ucapan Dewan Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, membangun generasi Johor yang berdaya saing. Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia ada mengeluarkan kenyataan di mana untuk seseorang individu bujang dewasa hidup dengan bermaruah di kawasan bandar memerlukan gaji minima sebanyak RM2,700.00. Malangnya kalau kita tengok sekarang ini, dua per tiga graduan kita hari ini terperangkap dengan gaji permulaan yang rendah, sehinggakan walaupun di kawasan bandar ada yang cuma dapat RM2,000.00 sahaja setiap bulan. Walaupun mereka memiliki kelayakan yang tinggi. Jadi, sudah tentu perkara ini menjadi halangan besar untuk orang muda bekerja di negeri mereka sendiri mencurahkan bakti di negeri mereka sendiri. Apabila bakat muda kita merasakan bahawa kelayakan mereka itu tidak dibalas dengan setimpal, maka mereka pun keluar mencari rezeki di tempat lain. Sama ada di negeri lain ataupun di negara lain. Johor tidak boleh kehilangan generasi bakat muda yang sepatutnya menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi kita. Kalau tak ada orang-orang muda negeri Johor siapa yang akan menggerakkan enjin ekonomi negeri ini?
Saya ingin menyentuh tentang satu insentif penting yang telahpun dibentangkan dalam belanjawan baru-baru ini iaitu Majlis Pembangunan Bakat Johor ataupun Johor Talent Development Centre (JTDC). Patik juga menjunjung setinggi kasih di atas pengumuman Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di mana Johor akan menjadi negeri pertama dalam negara ini yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000.00 dan RM5,000.00 kepada pekerja berkemahiran tinggi dengan lebih 100,000 peluang kerja berkemahiran tinggi dalam agenda Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Macam inilah baru Johor Yang Berhormat Datuk Speaker. Ada visi dan berdaya saing buka ruang dan peluang untuk anak muda. Namun begitu, saya juga ingin persoalkan kepada Kerajaan Negeri, apakah insentif yang Kerajaan Negeri akan buat untuk memastikan agar syarikat-syarikat multinasional ataupun dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, multinational companies yang melabur ke dalam negeri ini, yang bertapak dalam negeri ini akan mengambil anak-anak Johor yang bergaji premium ini untuk bekerja ditempat mereka? Kerana kita tidak mahu kerana mereka risau dengan gaji yang terlampau tinggi, mereka ambil kerja daripada luar datang kerja di kawasan kita di negeri Johor kita. Kita ambil contoh di negeri Sarawak. Sebagai contohnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Petronas di negeri Sarawak, 90.6 peratus pekerja dalam PETRONAS tersebut merupakan orang Sarawak sendiri. Daripada jawatan Eksekutif sehinggalah ke jawatan Pengurus-Pengurus Kanan dan semuanya adalah anak-anak negeri Sarawak. Kita mahu lihat perkara yang sama untuk anak-anak di negeri Johor. Saya harap Yang Berhormat Menteri Besar Johor ataupun mana-mana EXCO akan dapat berikan jawapan dalam penggulungan tentang insentif kerajaan untuk pastikan multinational companies ini akan ambil anak-anak Johor sendiri bekerja di dalam syarikat mereka. Saya kira ini adalah satu usaha yang bagus. Saya juga harap bahawa Kerajaan Negeri Johor untuk tempoh separuh penggal pertama tahun 2025 akan membentangkan road map untuk merealisasikan cita-cita ini. Bagaimana kita nak memastikan bahawa graduan muda kita bukan sahaja dilengkapi dengan skill-skill ataupun kemahiran-kemahiran yang diperlukan industri sekarang? Tetapi bagaimana untuk kita memastikan mereka mempunyai kemahiran untuk memenuhi keperluan industri 10 ke 20 tahun yang akan datang. Pada masa yang sama kita mahu gerakan pemain industri untuk tawarkan gaji yang bagus yang kena dengan kelayakan anak-anak muda kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua, Tadbir Urus Cekap Cerminan Sikap. Tadbir urus cekap yang berkesan adalah tulang belakang kepada kemajuan negeri. Keberkesanan sesuatu pentadbiran terletak kepada sejauh mana kita mampu mendengar suara rakyat, kita bertindak atas keperluan mereka dan menyelesaikan masalah yang mereka bawa kepada kita. Tadbir urus bukan sekadar tentang membuat dasar semata-mata tetapi bagaimana untuk menghidupkan dasar tersebut dengan mekanisme yang membawa manfaat kepada seluruh rakyat dalam negeri Johor. Pejabat saya dan juga saya pasti banyak lagi pejabat ADUN-ADUN di negeri Johor ini sentiasa menggunakan sistem aduan SISPAA sebagai contohnya untuk membuat aduan-aduan yang datang kepada kita oleh rakyat setempat. Aduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan semuanya kita gunakan SISPAA. Kami menjadi pengantara memberi ruang kepada rakyat untuk melaporkan isu-isu mereka dan ini membantu untuk memastikan tindakan segera diambil. Saya sambut baik usaha Menteri Besar Johor memperkenalkan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor. Saya percaya inisiatif ini bukan sekadar peluang untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran, tetapi ia juga boleh menjadi langkah ke arah memupuk ketelusan dalam menjawab segala laporan yang datang kepada kita. Setiap aduan boleh dipantau, boleh dilaporkan kembali kepada rakyat dan menjadi bukti kepada usaha kerajaan dalam menunaikan janji.
Tetapi, ada dua persoalan yang saya ingin ajukan kepada Menteri Besar mengenai sistem ini. Yang pertama, adakah aplikasi khas akan diperkenalkan bersama dengan sistem aduan bersepadu ini? Dan kedua, apakah mekanisme untuk memastikan agar sistem ini tidak bertindih dengan sistem-sistem yang sedia ada? Di peringkat persekutuan sahaja sudah ada banyak sistem aduan, sebagai contohnya selain daripada SISPAA kita ada aplikasi i-Tegur oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang membolehkan pengguna menghantar aduan dan menjejak status aduan mereka. Adakah Johor akan mengambil langkah serupa? Jika jawapannya adalah ya, dan memang ada dalam perancangan, bagaimanakah kerajaan negeri ini akan mengambil tindak supaya tidak ada pertindihan antara sistem-sistem ini. Dengan platform seperti SISPAA sudah berfungsi kita tahu bahawa ada banyak sistem sedangkan sistem yang sedia ada pun kadang-kadang kita terpaksa buat laporan dua tiga kali sebelum kerja-kerja dan tindakan diambil. Apatah lagi kalau kita menambah lagi sistem-sistem yang sedia ada. Bila cakap hal nak buat apps ni Yang Berhormat Datuk Speaker memang dengar bunyinya canggih. Bunyinya macam lebih mudah. Malah sekarang kalau sebut AI, semua nak pakai AI. Termasuklah jabatan-jabatan kerajaan. Tapi dalam satu jawapan Dewan Rakyat ada menyatakan bahawa kini ada lebih 200 apps daripada 93 agensi kerajaan yang telah diperkenalkan. Dan daripada 200 apps ini, 97 daripada 200 itu jumlah muat turun atau penggunanya kurang daripada 1,000 pengguna. Jadi semua agensi nak buat apps. Kementerian Kesihatan pun ada nak buat super apps baru sedangkan kita sudah pun ada apps MySejahtera. Kita nak elak pisang berbuah dua kali. Bukan saya menolak kita buat apps, kalau ada apps itu bagus. Lebih bagus lagi sekiranya apps itu daripada membuat satu sistem yang baru menjadi one stop centre untuk menghubungkan semua sekali apps-apps yang sudah wujud sekarang ini. Dalam dunia yang semakin pantas, sikap responsive bukan lagi pilihan Yang Berhormat Datuk Speaker tetapi satu keperluan. Ia harus bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik supaya boleh menjadi lambang kemajuan negeri Johor. Rakyat Johor berhak mendapat sebuah sistem yang mendengar, bertindak dan telus.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ketiga, projek sakit menjadi barah negeri Johor. Pembangunan bukan sekadar tentang bangunan yang berdiri ataupun jalan yang telah diluaskan. Ia adalah tentang janji kepada rakyat, janji bahawa projek yang dimulakan akan dilaksanakan tepat pada waktunya dan memberikan manfaat yang dijanjikan. Saya menyahut baik usaha Yang Berhormat Dato’ Mohd Jafni, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dengan usaha untuk menyelesaikan 6 projek sakit bernilai lebih RM260.75 juta tahun ini. Namun, kita tidak boleh berhenti di sini. Saya percaya kita boleh bergerak lebih maju dan lebih baik. Contohnya, saya ambil isu satu projek yang
sudah lama tidak selesai dalam kawasan saya iaitu Projek Flat Mount Austin. Saya rasa Yang Berhormat Dato’ Jafni pun dah penat dengar sebab saya bawa isu ini daripada Sidang yang pertama Yang Berhormat Datuk Speaker. Ada 3 blok bangunan terbengkalai yang bina tak siap-siap. Ada lagi 3 blok yang belum dibina langsung. Bermakna 6 total blok yang tidak siap sampai sekarang. 6 blok ini secara total tidak masuk akal Yang Berhormat Datuk Speaker. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Pembeli yang buat pinjaman bank dah lulus bayar bulan-bulan tapi rumah mereka tak dapat-dapat. Sekarang ini pembeli itu terpaksa menyewa di tempat lain. Ada yang sudah keluar dari negeri Johor sekalipun. Tetapi, rumah mereka masih belum siap.
Ini bukan lagi cerita tikus membaiki labu Yang Berhormat Datuk Speaker. Ini kisah realiti projek sakit di dalam Puteri Wangsa di dalam negeri Johor. Ini adalah kegagalan yang kita tidak boleh terima. Sekarang keluarga-keluarga yang menunggu rumah itu lebih 16 tahun tetap terpaksa membayar pinjaman bank dan terpaksa membayar sewa rumah lain walaupun mereka sepatutnya sudah memiliki rumah sendiri. Saya faham kekangan di peringkat negeri. Tetapi, kita tetap kena cari cara supaya pertama, untuk selesaikan masalah sedia ada. Kedua, cari cara supaya masalah seperti ini tidak berulang lagi. Johor perlukan sistem yang bukan sahaja menyelesaikan projek-projek sakit tetapi memastikan projek yang baru dirancang tidak akan mengalami masalah-masalah yang sama. Saya nak pastikan bahawa setiap projek perlu ada indikator prestasi yang jelas. Kita mahu akauntabiliti daripada pemaju-pemaju ini. Masalahnya sekarang Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila pemaju ini telah disenarai hitamkan kerana dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana sistem corporate veil dalam sistem perundangan kita menjadikan walaupun syarikat mereka telah disenarai hitam pemajunya boleh buka syarikat baru lagi. Kemudian ulang masalah yang sama. Saya mahu cadangkan pada kerajaan negeri untuk kita senarai hitamkan bukan sekadar nama syarikat tetapi nama pemaju yang membuka syarikat tersebut. Heret mereka untuk sambung tugasan dan janji kepada penduduk yang menjadi mangsa sikap mereka yang culas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang keempat, Tahun Melawat Johor 2026. Tahun Melawat Johor 2026 ini adalah peluang untuk kita pamerkan Johor pada dunia. Yang lebih penting lagi ini adalah peluang untuk kita mengangkat komuniti kita supaya kita dapat perkasakan mereka menjadi pemain utama dalam naratif kehebatan Johor. Kita tidak perlu memulakan dari sifar, dalam negeri kita sendiri sudah ada macam-macam. Kita ada sumber terbaik kita iaitu orang Johor itu sendiri. Bangsa Johor perlu faham tentang peranan mereka sebagai duta Tahun Melawat Johor 2026. Dari komuniti pemandu teksi, pemilik kedai makan, komuniti pengukir seni kraftangan, anak-anak teater Johor dari Johor Bahru sehingga ke Muar hinggalah ke Mersing, semua kena bawa nama Johor kepada dunia luar sana. Bayangkan Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini, saya ada berjumpa dengan komuniti Persatuan Teksi di Johor Bahru. Dan mereka melafazkan kerunsingan mereka kerana dengan wujudnya apps seperti Grab sekarang ini pemandu-pemandu teksi kita sudah hilang punca pendapatan. Bayangkan untuk Tahun Melawat Johor 2026, kita boleh sambil menyelam minum air, kita jadikan pemandu-pemandu teksi ini sebagai rakan kongsi Johor untuk Tahun Melawat Johor 2026. Jadikan mereka wajah pertama yang ramai pelancong akan lihat. Turun dari Lapangan Terbang Senai ataupun Terminal Bas Larkin, inilah wira-wira Johor yang akan menyambut tetamu dari luar. Saya yakin dengan latihan yang memadai, mereka bukan sahaja akan tahu tentang tempat menarik semata-mata tetapi bagaimana untuk mempromosikannya kepada pelancong-pelancong.
Kita ambil contoh daripada Bangkok sebagai contohnya, di mana pemandu tuk-tuk diberi latihan khas tentang sejarah dan juga budaya tempatan supaya mereka juga merupakan pemandu pelancong yang paling berkesan di Bangkok sendiri. Hasilnya, pengalaman pelancongan yang lebih kaya dan kesan ekonomi yang lebih besar kepada masyarakat setempat. Johor juga boleh melakukan perkara yang sama. Saya yakin pemandu teksi kita boleh menjadi pemandu pelancongan yang bukan sahaja membantu pelancong tetapi juga menjadi sumber maklumat yang bernilai. Hari ini Yang Berhormat Datuk Speaker apabila
orang luar fikir tentang Johor, apabila saya tanya kepada mereka pernah ke datang ke Johor? Mereka sentiasa sebut nama-nama seperti Legoland, Johor Premium Outlet dan Pulau Rawa sebagai destinasi pilihan mereka. Ini semua memang destinasi yang hebat. Tetapi negeri kita lebih daripada itu. Saya menyokong penuh usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk memperkenalkan lebih banyak destinasi terutamanya kawasan seperti Taman Eko Rimba di Taka Melor, Teluk Arong atau Tapak Perkhemahan Pantai Minyak Beku di Batu Pahat. Semua ini adalah aset yang belum diterokai sepenuhnya. Namun, untuk menjayakan langkah ini, kita perlu memudahkan cara pelancong mendapatkan maklumat.
Saya mencadangkan kita naik taraflah laman web Tourism kita, dengan pendekatan yang lebih data driven dan lebih dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker tourist friendly. Saya minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker tetapi pelancong tak nak tengok gambar kita buat mesyuarat dalam website Tourism Johor, dia tak nak tengok kita dapat anugerah sesama kita Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang pelancong nak tengok adalah satu gambar lokasi menarik. Apa alternatif pengangkutan di negeri Johor. Pelancong nak tengok apa pakej-pakej pelancongan yang ada dalam negeri Johor. Hotel dan rumah inap yang sesuai, tempat makan sedap-sedap, semua ini perlu diletakkan dalam laman web Tourism Johor. Saya bagi contohlah, kalau pelancong daripada Rusia atau Iceland sebagai contohnya sampai ke Johor Bahru, mereka nak tahu nak pergi Mersing tu macam mana, nak naik bas tu macam mana, nak beli tiket macam mana, berapa ringgit harganya? Macam mana nak ambil tiket daripada agensi-agensi yang sah dan bukannya ulat-ulat tiket? Semua ini sepatutnya ada dalam laman web Tourism Johor. Kita kena letak diri kita sendiri dalam posisi pelancong. Maklumat apa yang kita nak kalau kita keluar negara? Itu jugalah yang kita perlu sediakan dalam laman web Tourism Johor.
Laman web ini sepatutnya menjadi hab maklumat yang lengkap membolehkan pelancong mencari tempat berdasarkan tema sebagai contohnya kalau mereka suka eko pelancongan ada satu tempat dekat sini mereka boleh pergi. Kalau mereka nak tahu apa budaya dalam negeri Johor ada satu special page ataupun page yang khas untuk kebudayaan, ada page khas untuk aktiviti keluarga dan sebagainya. promosi ini mesti disokong dengan kandungan yang menarik di media sosial. Panduan digital dan juga kolaborasi dengan influencer-influencer dari Johor sendiri. Hal yang saya sebut ini saya pasti boleh buat kerana kerajaan negeri Johor telah pun memperuntukkan RM7.2 juta untuk tujuan promosi pelancongan Johor. Saya juga nak cadangkan Yang Berhormat Datuk Speaker, supaya semua 56 ADUN Negeri Johor ini menjadi duta pelancongan untuk Tourism Johor. Saya pasti ramai nak tengok sebagai contohnya video Yang Berhormat Kukup mempromosikan Tanjung Piai ataupun Yang Berhormat Maharani mempromosikan makanan lokal di Muar, mereka nak tengok wakil-wakil rakyat mereka mempromosikan tempat mereka sendiri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir adalah tentang perubahan iklim. Isu perubahan iklim bukanlah cabaran untuk masa depan. Ia adalah cabaran hari ini. Yang pertama kita perlu wujudkan garis panduan pembangunan berteraskan daya tahan bencana. Yang paling penting bila kita bercerita tentang perubahan iklim adalah bagaimana untuk kita pastikan dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, urban planning kita itu berdaya tahan bencana. Sebagai contoh di kawasan saya iaitu di Kampung Maju Jaya, pembangunan oleh pemaju di kawasan sekitar yang secara tidak terancang menyebabkan penduduk kampung terpaksa menerima akibatnya. Baru-baru ini dah dua kali berturut-turut banjir. Sistem saliran yang kurang sempurna tidak dapat menampung jumlah curahan air hujan yang tinggi sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat yang menjejaskan rumah penduduk. Pada masa yang akan datang, kita kena pastikan setiap pembangunan yang datang ke negeri kita, setiap pemaju yang nak buka kawasan baru dalam negeri kita perlu ada perancangan yang bersepadu. Tidak boleh rancang di kawasan mereka sahaja. Kena fikir upstream ada apa, downstream ada apa, supaya semuanya berdaya tahan bencana.
Kedua Yang Berhormat Datuk Speaker, penggunaan inovasi terkini untuk adaptasi perubahan iklim. Dalam konteks Johor, adaptasi terhadap perubahan ini harus memberi fokus kepada keselamatan makanan. Saya menyambut baik inisiatif Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk memperuntukkan RM1.05 juta bagi memperkasa pertanian moden dan pintar. Namun, kita perlu memastikan pelaburan ini melibatkan teknologi yang benar-benar mampu mengubah cara kita menangani impak perubahan iklim yang semakin teruk sekarang ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya ambil contoh satu inovasi yang dibuat di negara Thailand sebagai contohnya, memperkenalkan benih tahan banjir dan kemarau. Contohnya apa yang mereka lakukan dengan benih ini, anak benih ini bertahan selama 14 hari dalam air banjir. Memberi kelebihan luar biasa kepada petani dalam menangani bencana alam yang tidak menentu. Kita sudah lihat bagaimana kawasan pertanian di Johor sering terkesan akibat banjir dan kemarau yang tidak menentu. Banjir 2022, pertanian Johor kerugian RM2.35 juta. Pada banjir 2023, pesawah-pesawah Malaysia kerugian RM40 juta disebabkan banjir. Dengan adanya inovasi seperti ini, pertanian moden dan pintar kita dapat pastikan bahawa bukan sahaja petani kita terlindung tetapi keselamatan bekalan makanan Johor juga terlindung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya akhiri perbahasan belanjawan saya, saya juga nak ambil kesempatan untuk mohon bantuan daripada kerajaan negeri Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Dewan yang mulia ini untuk juga tengok-tengokkanlah ruang menunggu pegawai-pegawai ADUN. Saya sebenarnya agak kesian bila saya sudah habis berucap, saya jumpa pegawai saya, mereka berpeluh macam basah kuyup, macam baru lepas mandi Yang Berhormat Datuk Speaker. Dengan Dewan yang cukup besar dan cukup cantik ini, saya pasti kita boleh sediakan tempat yang lebih bermaruah untuk pegawai-pegawai ADUN menunggu ADUN-ADUN mereka, kerana kadang-kadang saya kesian tengok video ataupun gambar, mereka hendak menaip skrip ke, menaip apa-apa ke, letak laptop di riba sahaja. Tidak ada TV yang besar untuk mereka lihat apa yang berlaku di dalam Dewan dan paling kesian sekali sebenarnya apabila mereka memang basah lencun itulah Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya yakin kita boleh sediakan tempat yang lebih bermaruah untuk pegawai-pegawai kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor kini diambang kebangkitan baru. Kita harus pastikan rakyat Johor dari bandar hingga ke kampung tidak ketinggalan dalam gelombang kemajuan ini. Saya berdoa kepada Yang Maha Esa agar negeri Johor terus dilimpahi keberkatan dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Sekian terima kasih.
Terima kasih Puteri Wangsa. Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bismillah ini saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi Sungai Balang peluang untuk berbahas di Dewan ini, dalam bentuk batas waktu membawa suara hati dan nurani rakyat di DUN Sungai Balang. Alhamdulillah syukur dirafakkan kehadrat Allah SWT kerana atas keizinannya dapatlah kita semua berada di dalam Dewan yang mulia ini, Dewan Negeri Johor yang dilimpahi dengan keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, rasul kepada umat akhir zaman dan pemimpin agung yang menjadi serba baik contoh tauladan dan panduan dalam pemerintahan kerajaan. Sebelum saya meneruskan, ingin patik merafak sembah dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Anak raja bermain gendang, irama lembut menawan hati, dirgahayu Tuanku yang disanjung orang, panjang usia penuh diberkati. Patik dan sekalian rakyat jelata di DUN Sungai Balang berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia dan serta
sentiasa berada kandungan alfiat, inayah agar dapat meneruskan, menaungi rakyat Tuanku Bangsa Johor sekalian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah memperuntukkan sebanyak RM94.3 juta bagi kesejahteraan dan pembangunan kawasan di DUN Sungai Balang melalui pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Sungai Balang serta menaik taraf perparitan, perpaipan, bekalan air di Bukit Perah, Parit Jawa serta menaik taraf pantai di kawasan hakisan Pantai Seri Menanti, dan juga pembinaan Jeti Sungai Pulai serta penambahan sawah Sungai Balang dan juga membina baharu sebuah Masjid Jamek di Parit Pechah. Mudah-mudahan siapnya projek RMMJ DUN Sungai Balang ini dapat kemudian hari kelak akan lebih merealisasikan kehidupan rakyat di Sungai Balang. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih ditujukan kepada Yang Berhormat Datuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas usaha berganding bahu dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam menjayakan agenda pembinaan RMMJ DUN Sungai Balang yang bernilai RM80 juta. Juga tidak ketinggalan ucapan terima kasih ditujukan kepada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi atas peruntukan online pumping sebanyak RM2 juta yang akan dibina di Bukit Mor, Parit Jawa dan Insya-Allah, bekalan, mengatasi masalah tekanan dan bekalan air yang kerap melanda pengguna Sungai Balang dapat diatasi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2025 ini, “Maju Johor, Rakyat Sejahtera,” yang ditunjangkan enam teras nilai Maju Johor dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM2.005 bilion dan perbelanjaan sebanyak RM1.99 bilion serta unjuran lebihan sebanyak RM5.10 juta menunjukkan ekonomi Johor berada dalam keadaan stabil dan kukuh. Kadar pengangguran yang kekal rendah pada 2.3 peratus pada suku ketiga tahun 2024 mencerminkan Johor sedang berada di landasan yang betul, memacu ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, tambahan pula dengan prestasi ekonomi Johor yang mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023. Faktor ini sudah tentunya akan menjadikan Johor sebagai the next engine of the growth for the country, dengan izin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bahawa teras utama tadbir urus adalah nadi keberkesanan sebuah kerajaan, yang menunjangi komponen-komponen teras yang lain. Hal ini dapat dilihat melalui 43 inisiatif yang dinamakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bagi menjadikan sistem penyampaian kerajaan menjadi lebih cekap, efisien untuk kemudahan rakyat. Sungai Balang sekali lagi menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Johor kerana dengan bersungguh-sungguh menyediakan peruntukan-peruntukan bagi memperkasakan pentadbiran di peringkat mukim dan kampung-kampung di negeri Johor. Masing-masing dengan jumlah RM127,000.00 bagi menyediakan caruman PERKESO, di bawah skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri untuk ketua-ketua kampung dan ketua masyarakat RM150,000.00 untuk kursus peningkatan profesionalisme institusi kepimpinan ketua kampung dan masyarakat serta geran pentadbiran pengurusan persatuan ketua-ketua kampung negeri dan daerah. Semoga dengan peruntukan ini institusi pentadbiran peringkat kampung dan mukim dapat dipertingkatkan, skill kepimpinan dan kecekapan pentadbirannya agar dasar-dasar kerajaan negeri dapat disampaikan, berbekas kepada rakyat keseluruhannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menuju sebuah negara maju pada tahun 2025 ini, segala aspek pembangunan yang dicapai perlulah seiring dengan tahap yang dipunyai oleh sebuah negeri maju. Justeru nadi utama kemajuan yang dipacu adalah melalui keadaan jalan yang elok, sistematik dan selesa digunakan oleh rakyatnya dan pengunjung yang bertandang ke Johor ini, pengunjung yang bertandang ke negeri Johor ini, namun setiap yang baru itu pastinya akan mengalami kerosakan dan dalam konteks ini, saya menyentuh
keadaan fizikal jalan yang mengalami kerosakan. Menginsafi dan merasai kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat yang kerap mengadu hal kerosakan kecil jalan terutama di jalan kampung, saya dengan ini mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya diwujudkan satu stok bekalan tar sejuk ataupun cool premix di setiap JPKK dalam negeri Johor yang boleh dijadikan stok kecemasan sekiranya terdapat lubang-lubang kecil yang terbentuk di jalan-jalan kampung di bawah tanggungjawab ketua kampung. Usaha ini saya lihat sebagai langkah segera dalam menangani aduan rakyat terhadap keadaan jalan yang berlubang dan mengalami kerosakan kecil dan hal ini sebagai penyelesaian jangka pendek sebelum permasalah tersebut diatasi sepenuhnya melalui peruntukan baik pulih jalan yang sudah pastinya perlu menunggu untuk tempoh waktu yang lama. Daripada segi pelaksanaannya, ia juga boleh dilaksanakan secara gotong-royong oleh JPKK dan sukarelawan yang ada di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang dijangkakan akan dimaterai perjanjiannya pada 9 Disember 2024 nanti bakal merubah landskap ekonomi negeri Johor. Dengan perjanjian dengan kadar gaji premium kepada graduan yang bekerja dalam koridor tersebut, justeru itu sudah tentu hal ini akan menjadikan kawasan JS-SEZ sebagai magnet lubuk pekerjaan kepada anak-anak muda yang sedang mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup di zaman yang serba mencabar ini. Kendati pun kita berasa sungguh berbesar hati dengan pencapaian ini, namun kerajaan juga harus, tidak harus meminggirkan kawasan-kawasan di utara Johor yang masih lagi memerlukan pembangunan infrastruktur dan ekonomi berimpak tinggi. Disini saya menekankan agar Sungai Balang perlu dimasukkan dalam fokus lensa kerajaan dalam rangka perancangan projek ekonomi berimpak tinggi supaya nanti dapat memberi kesan positif kepada rakyatnya, di dalamnya. Apa yang saya khuatiri nanti adalah jika sekiranya situasi ini tidak ditangani dengan penuh hemah, pola pendapatan antara kawasan utara dan selatan Johor mengalami kesenjangan jurang taraf hidup yang jauh dan ketara berbanding dengan taraf hidup yang dikecapi oleh rakyat di utara Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap mengenai jaringan komunikasi dan perhubungan seperti mana yang disebut kebanyakan ADUN-ADUN yang mengutarakan dalam Dewan ini, negara kita telah mencapai ke tahap jaringan sambungan 5G, namun begitu masih terdapat banyak lagi kawasan yang mempunyai masalah berkaitan kekuatan capaian talian telefon dan Internet khasnya di Sungai Balang. Adakalanya apabila kita hendak bercakap di telefon, seumpama orang yang sedang bertengkar mulut kerana terpaksa bercakap kuat dan berulang-ulang dek kerana talian telefon yang sering putus-putus dan bermasalah. Meskipun aduan dan bancian pihak SKMM mahupun pihak penyedia perkhidmatan telco berkenaan masalah tersebut, namun permasalah berkaitan liputan tetap tidak berubah secara signifikan. Masalah ini bertambah rumit apabila menjelang hari perayaan bila mana anak-anak perantau balik ke kampung, menjadikan masalah capaian talian telefon dan Internet semakin perlahan. Tambahan pula masalah ini amat serius di kawasan-kawasan kampung yang terletak jauh di pekan dan hal ini amat memberi kesan kepada mereka. Sebagai contoh kampung yang mengalami masalah, seperti di Kampung Sungai Balang, Sungai Kelat, Kampung Seri Dalam, Kampung Seri Menanti Laut dan tempat-tempat lain. Justeru itu apalah makna perkhidmatan e-Kerajaan yang disediakan jikalau masih terdapat kawasan-kawasan yang mempunyai masalah liputan jaringan telefon dan internet yang menyedihkan.
Sungai Balang juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan Johor atas kejayaan menoktahkan miskin tegar pada bulan Julai 2024 yang lalu. Atas usaha yang bersungguh-sungguh dan tanpa mengenal putus asa oleh kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat, golongan miskin tegar ini dapat diubah nasib mereka kepada golongan kategori miskin sahaja. Namun begitu kita tidak boleh merasa cepat berpuas hati dan membiarkan mereka selamanya berada di dalam golongan kategori miskin. Bak kata orang, jika kita hendak mereka keluar daripada kepompong kemiskinan, kita tidak boleh terus menerus memberikan ikan ataupun terus menyuapkan
mereka. Suatu usaha yang bersepadu dan pelan pembasmian kemiskinan yang berkesan perlu dirangka bagi membolehkan golongan miskin ini dapat bermandiri dalam usaha mereka keluar dari kategori miskin. Memberi bantuan bulanan kepada golongan miskin ini penting tetapi langkah itu sahaja tidak cukup, usaha yang lebih proaktif dan holistik seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kemahiran adalah kunci untuk memutuskan rantaian kemiskinan dan memastikan mereka mampu berdikari untuk meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi mereka sendiri. Biarnya nanti peruntukan yang bagi bantuan tersebut dapat disalurkan kepada pembangunan negeri yang lebih memberi kesan luas kepada rakyat dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap soal keselamatan harta benda dan nyawa rakyat, saya juga membangkitkan dan menyuarakan hasrat masyarakat di DUN Sungai Balang di Dewan yang mulia ini bahawa satu keperluan sebuah balai bomba perlu diwujudkan di Sungai Balang. Sebuah balai bomba memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan penduduk dan harta benda di kawasan DUN Sungai Balang. Dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di kawasan ini, kehadiran balai bomba menjadi satu kepentingan dan keperluan yang tidak dapat dinafikan. Saya fikir keperluan ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada DUN Sungai Balang, malahan juga untuk DUN berhampiran seperti DUN Semerah dan juga Bukit Naning yang juga akan menikmati kesan limpahannya, mungkin dapat mengurangkan risiko kemusnahan harta benda jika sekiranya berlaku kebakaran. Dan balai bomba berperanan penting sebagai benteng barisan hadapan dalam menangani kebakaran dan kecemasan. Kehadiran balai bomba di Sungai Balang ini untuk memastikan pasukan bomba dapat tiba di lokasi kejadian cepat dan dapat dengan hadir dengan cepat dan tindakan pantas ini amat penting untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat kebakaran atau bencana lain seperti banjir dan juga kemalangan jalan raya.
Kehadiran balai bomba di Sungai Balang ini untuk memastikan pasukan bomba dapat tiba di lokasi kejadian secepat dan dapat dengan hadir dengan cepat dan tindakan pantas ini amat penting untuk mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat kebakaran atau bencana lain seperti banjir dan juga kemalangan jalan raya.
Yang Berhormat Sri Medan juga semalam telah menyuarakan dan membangkitkan isu yang sama bahawa keperluan balai bomba merupakan satu keperluan di saat berlakunya kebakaran atau pun bencana. Dan keperluan ini merupakan satu hasrat yang munasabah tambahan pula DUN Sungai Balang ini terletak sejauh 40 kilometer daripada Muar mahupun Batu Pahat. Selain menangani kebakaran, balai bomba juga bertanggun jawab membantu pelbagai jenis kecemasan termasuk menyelamatkan mangsa banjir, kemalangan dan kejadian tanah runtuh. Kawasan Sungai Balang yang berpotensi menghadapi banjir akibat musim tengkujuh amat memerlukan pasukan bomba yang sentiasa bersiap sedia untuk bertindak. Kehadiran balai bomba di Sungai Balang ini juga boleh memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur. Tambahan pula Sungai Balang termasuk dalam kategori Corridor Maharani Energy Gateway yang sudah semestinya potensi pelabur melihat Sungai Balang sebagai prospek. Infrastruktur keselamatan yang baik termasuk balai bomba menjadikan faktor dalam memastikan kawasan perniagaan, perumahan dan industri berkembang tanpa kebimbangan terhadap risiko kebakaran atau pun bencana lain.
Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Sungai Balang juga mempunyai banyak jeti nelayan yang digunakan bagi nelayan untuk kelaut dan memunggah hasil tangkapan ikan. Kebanyakan daripada jeti ini sudah berusia dan berkeadaan kurang sempurna daripada aspek kemudahan dan infrastrukturnya. Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri dan Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor atas peruntukan sebanyak RM250,000.00 untuk membangunkan jeti di Sungai Pulai yang sudah tentunya memberi manfaat kepada nelayan di kawasan tersebut. Namun begitu, masih lagi terdapat jeti-jeti dalam keadaan tidak sempurna dan daif seperti jeti di Parit Kedondong, Parit Kasim, jeti Sungai Balang. Diharapkan kerajaan dapat memberikan
pertimbangan dalam fokus untuk menaik taraf jeti-jeti ini sebagaimana yang diharapkan oleh para nelayan tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat DUN Sungai Balang juga berhasrat krisis manusia dan haiwan liar seperti yang dihadapi oleh Kota Tinggi dan lain-lain tempat di mana, haiwan liar ini selain daripada anjing, babi, monyet dan juga gajah ini yang mendatangkan risiko kerugian pada harta benda dan kehilangan nyawa. Dan dimaklumkan sahaja, pada tahun ini sehingga bulan November seramai lima orang mangsa langgar khinzir ataupun babi telah meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami. Manakala seramai 20 orang pula mengalami kecederaan yang terlibat dalam kes langgar khinzir. Justeru itu, pihak yang memegang punca kuasa dalam hal ini diminta untuk memberikan penekanan dalam fokus serap kaedah standard procedure operation yang boleh diambil bagi menangani kes kacau ganggu haiwan liar ini. Rakyat Sungai Balang telah acap kali meluahkan kesedihan dan kekecewaan ini akibat daripada impak yang dialami selepas menjadi mangsa kacau ganggu haiwan liar ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam aspek pendidikan pula. Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dan pelbagai berkaitan. TVET menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat yang meliputi peringkat sekolah menengah, lepasan sekolah sehingga ke tenaga kerja di industri melalui latihan berasaskan pekerjaan serta kerja-kerja pembangunan profesional. Justeru itu, Sungai Balang juga ingin menekankan sekali lagi bahawa keperluan menaik taraf Pusat Giat Mara Cawangan Muar yang terletak di Sarang Buaya, Parit Yusof. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker, Giat Mara Cawangan Muar ini masih menumpang di bangunan Persatuan Nelayan kawasan Muar sehingga hari ini dan sebahagiannya menyewa di bangunan rumah kedai di Pekan Sarang Buaya. Buat masa ini hanya terdapat tiga kursus sahaja yang ditawarkan iaitu pakaian dan fesyen, masakan dan pramusaji serta pengkhususan pastri. Oleh yang demikian, besarlah harapan saya, Sungai Balang untuk melihat Pusat Giat Mara cawangan Muar ini mempunyai bangunan sendiri atau pun dinaik taraf sebagai Giat Mara Prima. Saya yakin dan komited perkara ini dapat direalisasikan kerana pihak MARA mempunyai tanah seluas 10 ekar di kawasan Sarang Buaya, Parit Yusof sejak tahun 2004.
TVET memainkan peranan penting, peranan signifikan dalam membangunkan bakat tersedia untuk masa hadapan bagi memastikan negara kita tidak ketandusan bakat berkualiti untuk merealisasikan agar agenda besar negara. Oleh itu kerajaan secara berterusan perlu memberi penekanan terhadap TVET kerana permintaan dan keperluan industri kepada modal insan yang berkeupayaan seiring dengan peredaran teknologi yang amat pantas sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat global. TVET menjadi pemacu utama dalam game changer bagi melahirkan tenaga tempatan secara langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Tambahan pula, hasil air produk Modal Insan ini kelak akan berpeluang cerah dalam mendapatkan pekerjaan di dalam sektor Corridor Maharani Energy Gateway yang terdapat di dalam DUN Sungai Balang.
Sebelum saya mengakhiri ucapan perbahasan ini, sekali lagi saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan sekalian barisan Jemaah EXCO Kerajaan Johor atas hasil usaha dan kerja keras tanpa mengenal lelah ini telah mendatangkan hasil yang cukup bermakna buat negeri Johor dan rakyatnya. Biarlah jasa dan bakat ini menjadi kenangan dan ingatan rakyat sekalian dalam menakhodakan layar bahtera Johor ke arah sebuah destinasi iaitu Maju Johor. Dan akhirnya saya memberikan sebuah pantun untuk akhirnya pada sesi petang ini dan mungkin saya pembahas terakhir. Daun palas disulami rapi, hasil kerja untuk rakyat dihargai, bersama kita terus berbakti, Johor maju bermaruah tinggi. Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, Selasa, 26 November 2024 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4.55 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Junaidah binti Paing Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar