Johor · 26 November 2024
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · not final · 102 turns · 35,284 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor, Perkara 5 menyebut bahawa bahasa yang digunakan dalam Dewan ini ialah bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca yang digunakan oleh semua orang dan matlamat dan tujuan bahasa kebangsaan ialah untuk memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara kita ini terpelihara. Tetapi di dalam Dewan ini kita juga membenarkan atas kebenaran daripada Speaker jika sekiranya ada di kalangan ahli mahu menggunakan frasa-frasa dalam bahasa lain terutamanya Inggeris dengan kebenaran Speaker. Kita boleh memetik peribahasa, bidalan dan sebagainya daripada bahasa lain di dalam Dewan ini tetapi dengan kebenaran Speaker. Sebab itu tidak wujud soal diskriminasi dalam isu dasar bahasa kebangsaan. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang ni...
Maaf, maaf. Dijemput Yang Berhormat Maharani.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 1.
Apakah langkah terkini dan persediaan kerajaan negeri Johor bagi memudahkan pelaksanaan solat Jumaat kepada pelajar-pelajar sekolah dan umat Islam di negeri Johor bermula 1 Januari 2025? Dicadangkan supaya sekolah-sekolah berasrama dibenarkan melaksanakan solat Jumaat di surau sekolah tersebut.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullah, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Maharani telah bertanyakan apakah langkah terkini dan persediaan kerajaan Johor bagi memudahkan pelaksanaan solat Jumaat kepada para pelajar sekolah dan umat Islam negeri Johor bermula 1 Januari 2025 dan Yang Berhormat Maharani ada mencadangkan supaya sekolah-sekolah berasrama penuh dibenarkan melaksanakan solat Jumaat di surau sekolah mereka.
Terima kasih Yang Berhormat Maharani di atas soalan yang diajukan. Alhamdulillah, berkat titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor pada 7 Oktober yang lalu, cuti hujung minggu negeri Johor pada tahun hadapan akan berubah semula kepada hari Sabtu dan Ahad. Bermaksud hari Jumaat kita akan bekerja. Dan ini tidak asing YB Maharani, sebab sebelum daripada ini pun Johor pernah bercuti pada hari Sabtu dan hari Ahad. Namun begitu, cuti hujung minggu kali ini memberikan sedikit polemik kerana ada pihak yang
mengatakan perubahan kembali kepada cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad Datuk Speaker, seolah-olah mengekalkan peninggalan penjajah. Sebaliknya saya membawa Dewan yang mulia kepada firman Allah SWT dalam surah Al-Jumaah ayat yang ke-9, apa yang Allah kata Firman Allah SWT: ”Wahai orang yang beriman kata Allah, pada hari Jumaat bila diseru kepada Azan untuk solat Jumaat, maka kita kena bersegera”. Itu yang pertama Datuk Speaker. Maksudnya soalan YB Maharani ni betul.
Bila mana kerajaan kata Jumaat akan bekerja, YB Maharani ada antara kita yang ramai ni bimbang kalau-kalau bekerja pada hari Jumaat, sekolah pada hari Jumaat akan menyebabkan anak-anak kita akan terganggu keadaan solat Jumaat. Ini soalan yang baik. Jadi Datuk Speaker, ayat yang tersebut juga dah kata bila dah diseru dengan azan untuk solat Jumaat tinggalkan jual beli. Datuk Speaker biasanya kalau jual beli ini, kedai buka maksudnya hari tak cuti Datuk Speaker. Maksudnya ayat ini juga menerangkan hari Jumaat lazimnya aktiviti ekonomi bergerak. Jadi, kalau kerajaan bekerja pada hari Jumaat juga sebenarnya sama rohnya atas surah Jumaat Ayat 9 ini. Maksudnya tiada salahnya kita bekerja pada hari Jumaat. Sebab Datuk Speaker ada sebahagian kita dekat luar sana yang seolah-olah memberikan hukum kalau kerja hari Jumaat ini meminggirkan syiar Islam sedangkan pada hari Jumaat Allah sebut jelas, ayat ke-9 surah Jumaah, itu mukadimah. Maksudnya jangan lagi berbangkit isu kerja hari Jumaat seolah-olah meninggalkan syiar Islam.
Apa syiar yang sepatutnya kita perkasakan. Tadi soalannya tepat dan saya nak mula jawab Datuk Speaker. Hari Jumaat bekerja kerajaan Johor melalui Menteri Besar arahkan saya jadi Pengerusi penyelaras cuti hujung minggu terutamanya untuk solat Jumaat. Dua kali mesyuarat kita dah buat. Pertamanya pada 9 Oktober. 7 Oktober titah Duli Yang Amat Mulia, 9 Oktober Kerajaan Negeri buat kerja Datuk Speaker. Kita panggil mesyuarat yang pertama, kemudian kita buat mesyuarat yang kedua 23 Oktober melibatkan Jawatankuasa di bawah YB Dato’ Jafni dan Jawatankuasa di bawah YB Aznan. Antara yang penting ialah kita memberi garis panduan untuk anak-anak kita ini menunaikan solat Jumaat termasuk di sekolah-sekolah. Pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor juga telah dibuat bagi melihat keperluan solat Jumaat ini. Jabatan Mufti Johor telah mengadakan perbincangan bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Bahagian Pendidikan Islam serta libat urus dengan beberapa persatuan termasuk pengusaha bas, persatuan ibu bapa dan juga komuniti setempat.
Melalui Libat Urus ini kita kenal pasti Yang Berhormat Maharani, ada 15 buah sekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Johor maksudnya sekolah kebangsaan. Ada 11 buah sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor maksudnya Sekolah Agama Kerajaan Johor yang mempunyai sedikit kesukaran dengan hari Jumaat dijadikan hari bekerja. Maksudnya keutamaannya kena tengok kepada keperluan solat Jumaat. Apa kesannya? Kesemua 15 sekolah kebangsaan, 11 sekolah agama ini telah pun menghantarkan permohonan kepada Jabatan Mufti untuk diperlihatkan kesesuaiannya Datuk Speaker untuk surau Jumaat dalam kariah mereka dijadikan solat Jumaat, surau biasanya kariah jadi surau Jumaat ataupun dewan sekolah itu dinaik taraf juga sebagai dewan Jumaat.
Datuk Speaker, Jabatan Mufti telah mengeluarkan garis panduan, dah siap pun garis panduannya. Garis panduan perlaksanaan solat Jumaat di sekolah-sekolah yang terlibat. Sekolah yang jaraknya melebihi 3 kilometer daripada masjid sedia ada, jumlah murid dan guru Islam nya yang ramai dan tidak mempunyai penempatan penduduk di situ akan diberikan keutamaan. Maka mengambil kira syiar Islam yang memberi kemudahan dalam setiap taklifan, Jabatan Mufti telah memutuskan beberapa kriteria pelaksanaan solat Jumaat di sekolah-sekolah ini dengan pemantauan Pejabat Kadi Daerah. Seterusnya Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan membuat keputusan berkenaan dengan permohonan yang telah pun dimajukan. Makna sekolah yang membuat permohonan ini untuk solat Jumaat perlu menepati dasar kebenaran yang digariskan dalam panduan ini.
Dasar kebenaran solat Jumaat ini memerlukan pemohon untuk mendapatkan dahulu sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau berdekatan, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Islam Daerah dan juga Kadi Daerah. Cadangan kiraan jarak masjid dan surau berkenaan hendaklah melebihi radius 3 kilometer dari kawasan sekolah. Pemohon juga perlu memastikan tempat yang dicadangkan itu memenuhi hukum syarak iaitu berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 12 jemaah lelaki, bukan dewan yang terbuka bagi mengelakkan dicemari oleh haiwan dan bukanlah tempat yang dicampur adukkan dengan program-program yang tidak menepati hukum syarak. Walau bagaimanapun bagi kawasan yang memiliki beberapa sekolah yang bersebelahan antara satu sama lain, hanya satu sekolah sahaja yang akan dibenarkan untuk dinaik taraf sebagai dewan solat Jumaat.
Yang kedua juga, ia perlu mempunyai kemudahan iaitu lah bangunan sendiri yang perlu menghadap kiblat. Kapasiti ruang solat sekurang-kurangnya 100 orang jemaah, mempunyai mimbar, kalau tak ada kita bantu sediakan. Peralatan seperti cokmar, mihrab, sejadah, kipas bagi maksud keselesaan jemaah, tandas wanita, tandas lelaki perlu diasingkan sebab kalau di sekolah guru perempuan kekal ada, tempat mengambil wuduk yang mencukupi serta alat pembesar suara. Ini pun Datuk Speaker, YB Maharani, kita kerajaan mengambil kira keperluan. Kalau tak cukup pun Kerajaan Negeri akan bantu melalui Jabatan Agama Islam Negeri johor.
Bahagian yang kedua pula ialah pentadbiran. Pentadbiran sekolah hendaklah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Surau ataupun dewan Jumaat tersebut dengan mencadangkan kakitangan yang berkelayakan seperti pegawai surau, imam dan bilal perlu mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Kalau tidak cukup pun tidak mengapa Datuk Speaker, JAIJ akan hantar para pegawai yang bertauliah.
Jawatankuasa Fatwa nanti akan memutuskan sama ada permohonan itu dipenuhi kriterianya ataupun tidak. Bagi sekolah yang layak, Jawatankuasa Fatwa akan memutuskan bahawa surau itu akan dinaik taraf sebagai Surau Jumaat, Musolla Jumaat ataupun Dewan Jumaat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semua keperluan seperti mana jubah pada imam itu semua JAIJ akan sediakan. Jadi, maksudnya anak-anak kita nanti YB Maharani akan sembahyang Jumaat di surau kariah ataupun dewan sekolah itu. Suasananya macam masjid kariah kita. Jadi anak-anak ini takkan rasa terasing. Mereka seolah-olah kena sembahyang dekat dewan orang ramai, tidak begitu. Setiap garis panduan yang disediakan dan permohonan yang bakal dikemukakan akan diteliti oleh Jawatankuasa Fatwa. Ini semua kita buat bagi memartabatkan syiar Islam Datuk Speaker dan tidak akan ada orang yang boleh kata Johor tak jaga syiar agama. Maka ini akan menepis semua banyak mulut-mulut yang tidak berinsuran yang suka memperlekehkan semua niat baik. Bahkan titah ini telah pun diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Datuk Speaker, untuk itu saya ucapkan terima kasih kepada YB Maharani.
Ya sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas pencerahan yang telah diberikan. Maharani ingin bertanyakan tentang adakah pihak kerajaan bercadang mewajibkan menutup kedai-kedai jualan bermula 12.00 hingga 2.00 petang bagi menghormati solat jumaat? Terima kasih.
Terima kasih YB Maharani atas soalan yang baik. Kita jelas tadi ayat 9 solat Jumaat dah sebut. Bila diseru kepada azan solat Jumaat, tinggalkan jual beli.
Datuk Speaker bagi pihak Kerajaan Johor kita sentiasa memberikan nasihat dan panduan kepada semua peniaga-peniaga kita. Bahkan secara utamanya kerajaan buat dulu. Kerajaan memastikan Datuk Speaker, pada hari Jumaat kita tutup kedai kita. Kerajaan sendiri, YB Maharani kita mulakan. Maka kerajaan akan berikan ruang rehat kepada kakitangan kerajaan lebih awal, lebih selesa untuk tunaikan solat Jumaat. Itu saya ambil kira kerajaan dulu. Maka bila mana kerajaan dah buat, kita pergi kepada sektor swasta.
YB Maharani, saya dah berkunjung ke sebilang besar buah kilang-kilang yang bukan hanya kilang orang tempatan, termasuk kilang yang dimiliki oleh warga asing. Maksudnya pemilikan asing yang besar. Antaranya kalau saya boleh sebut Datuk Speaker, Southern Shokubutsu yang buat kita punya sabun shokubutsu. Saya tanya kepada pengurusannya seorang warga Jepun tentang hasrat kerajaan untuk memberikan ruang rehat kepada semua kakitangan beragama Islam selama 2 jam.
Dewan yang mulia kena tau, Jabatan Tenaga Kerja sekarang ini memberi garis panduan tutup waktu rehat untuk solat Jumaat hanya sejam setengah. Tapi kelebihan Dato’ Menteri Besar kita atas titah Pemangku Sultan, Johor buat cara Johor Datuk Speaker. Johor mesti jadi Johor. Jadi Johor kami dah jumpa dengan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor, kami bagi tahu Johor nak buat satu implementasi rehat swasta selama 2 jam. Datuk Speaker tahu apa kata Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor setelah mereka rujuk kepada pusat? Tidak ada masalah untuk Johor melaksanakan rehat sektor swasta selama 2 jam. Dan Johor telah pun melalui Dato’ Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan, memuktamadkan cuti rehat sektor swasta pada hari Jumaat adalah selama 2 jam.
Datuk Speaker, soalannya bolehkah dia dilaksanakan? Boleh Datuk Speaker. Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor dah beri pun perakuan, mana-mana syarikat yang enggan memberikan pelepasan kepada warga kerjanya untuk solat Jumaat mengikuti garis panduan Johor, kakitangan tersebut sepatutnya melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja soal kesalahan di bawah diskriminasi.
YB Maharani jangan risau, sebenarnya Akta Pekerja yang sedang pun berkuat kuasa di Malaysia sendiri pun dah menjaga kebajikan seluruh orang Islam. Cuma kadang-kadang ada orang ataupun persatuan ke pertubuhan saja yang tak nak mengiktiraf kononnya kerajaan Malaysia ataupun Kerajaan Johor menjaga agama Islam. Sebabnya apa, sesiapa yang tidak dibenarkan sembahyang Jumaat, ni anak-anak yang kat atas ni boleh melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja. Dan, ini YB Lee ni saya akan kerjasama dengan beliau sesiapa yang tak diberi sembahyang jumaat ataupun waktu kerjanya disusahpayahkan, maka boleh mengadu di bawah Seksyen Akta Pekerja bawah diskriminasi dan majikan itu Datuk Speaker akan diambil tindakan.
Maka jangan risaulah kalau kita tukar kerja hari jumaat. Ini tidak, ada pulak sentimen politik dimasukkan Datuk Speaker, saya ambil peluang untuk beritahu, tidak ada elemen politik bila mana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah pun diperkenankan. Maka Johor kena sambutnya dengan baik. Saya minta semua ADUN tak kira kerajaan pengimbang kena bawa suara ini, titah ini akan dilaksanakan. Dan Kerajaan Johor akan memastikan pelaksanaan syiar solat Jumaat tidak akan terganggu, bahkan Datuk Speaker, Johor tahun ini pun kita dah mulakan Semarak Subuh. Orang dok kata Jumaat ni kalau tak cuti, meninggalkan agama, syiarnya ditinggalkan sebab tak cuti, pertama saya dah rujuk dengan Dato’ Mufti, tidak ada dalil pun yang kata Jumaat ni cuti dalam Islam, tapi Jumaat kekal hari yang mulia dalam Islam.
Banyak sunnah yang boleh dilaksanakan antaranya apa dia? Subuh kita buat sujud sajadah. Dengan adanya Semarak Subuh tahun ini, seluruh ADUN kita di semua masjid/surau seluruh negeri laksanakan secara berjemaah. Kita buat juga bacaan surah al-Kahfi. Nabi pesan Datuk Speaker, baca surah al-Kahfi hari Jumaat ini, jempol fadilatnya. Semarak Subuh, lepas solat ada tazkirah, semua baca surah al-Kahfi sama-sama. Nabi kata siapa
yang selawat padaku pada hari Jumaat, antara waktu yang paling hebat. Dan selepas sembahyang subuh, tazkirah, kita al-Kahfi. Semua jemaah di Johor ni akan baca sekurang-kurangnya selawat Tafrijiyah.
Maka Datuk Speaker, Johor dah mulakan. Tahun ini sekali, tahun depan kita perkasakan 2 kali seminggu. Mudah-mudahan Datuk Speaker ada keberkatannya. Allah berikan Johor ini status insya-Allah sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur. Assalamualaikum warrahmatullah.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya bagi Yang Berhormat jawab panjang tu ya kerana isu ini adalah isu penting supaya semua orang faham mengenai dengan keputusan Kerajaan Negeri Johor. Tetapi bagi yang beragama Islam tu, saya ingin beri pandangan bila dah masuk waktu Jumaat, kalau tengah makan berhentilah makan ya. Tapi bayarlah dulu jangan main tinggal macam tu aje. Jangan ambil peluang eh. (Ketawa). Kononnya nak Jumaat, jadi tak nak bayar sebab tengah makan. Ok, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 2.
Adakah Kerajaan Negeri merancang sebarang program latihan atau kursus peningkatan kemahiran khusus bagi rakyat Johor untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam JS-SEZ? Jika ada, apakah sasaran bagi jumlah rakyat Johor yang akan mendapat manfaat daripada program ini?
Saya jemput Yang Berhormat Pulai Sebatang. Sebatang ke Sibatang? (Ketawa).
Pulai Sebatang Yang Berhormat Datuk Speaker.
Pulai Sebatang.
Terima kasih. Terima kasih Datuk Speaker. Soalan Pulai Sebatang nombor 3.
Adakah Kerajaan Johor sudah mengenal pasti jumlah tenaga kerja pakar dan tenaga kerja profesional sedia ada yang ada dalam Negeri Johor sebagai persediaan tenaga kerja yang akan ditawarkan untuk bekerja di JS-SEZ.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan berkaitan dengan apakah perancangan Kerajaan Negeri Johor berkaitan dengan sebarang program latihan atau kursus peningkatan kemahiran bagi rakyat Johor untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam Zon Ekonomi Khas Johor Singapura dan jika ada, apakah sasaran yang kita tetapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senggarang dan juga Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Kerajaan Negeri Johor melalui Unit Strategik Modal Insan telah melaksanakan program latihan kemahiran Johor yang dinamakan program pro-mahir sejak tahun 2018 sehingga kini. Program ini merupakan salah satu inisiatif strategi untuk meningkatkan tahap
kemahiran tenaga kerja tempatan melalui pendekatan training in place atau pendekatan ini bertujuan memastikan peserta bukan sahaja dilatih dengan kemahiran teknikal dan profesional yang relevan dengan kehendak industri, tapi juga ditempatkan bekerja sebaik sahaja menamatkan latihan. Bermaksudnya pelatih-pelatih dijamin kerja.
Fokus utama program ini adalah untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing, mahir dan dapat memenuhi keperluan sektor-sektor utama di negeri Johor. Sejak diperkenalkan program pro-mahir telah berjaya melatih seramai 3,500 peserta dengan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta.
Program ini telah memberi manfaat kepada rakyat Johor khususnya dari pelbagai latarbelakang termasuk mereka yang baru memasuki pasaran kerja dan yang ingin beralih bidang kerjaya serta golongan yang memerlukan peningkatan kemahiran untuk kekal relevan dalam industri masing-masing.
Selain menyediakan latihan teknikal, program pro-mahir juga menekankan pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah bagi memastikan para peserta menjadi pekerja yang serba boleh.
Melihat kepada kejayaan ini, Kerajaan Negeri Johor telah memutuskan untuk meneruskan program pro-mahir pada tahun hadapan melalui peruntukan sebanyak RM3 juta dalam Belanjawan Johor 2025.
Kerajaan negeri Johor juga bercadang untuk memperluaskan lagi pelangsungan inisiatif ini pada tahun hadapan melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor yang baru dilancarkan. JTDC (Majlis Pembangunan Bakat Johor) akan menjadi platform utama dalam melaksanakan pelbagai Program Pembangunan Modal Insan di Johor termasuk melalui program pro-mahir dengan fokus yang lebih tersasar bagi menjayakan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak RM20 juta telah pun diluluskan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri I semasa majlis pelancaran JTDC yang diadakan pada 3 November 2024 di Persada Johor. Dana ini akan disalurkan melalui HRD Corp, sebuah entiti yang bertanggungjawab dalam pengurusan pembangunan tenaga kerja untuk memastikan pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran dapat dijalankan secara holistik dan efektif.
JTDC akan menjalankan kajian dan analisis terhadap keperluan industri di Zon Ekonomi Khas untuk memastikan program latihan ini ditawarkan selaras dengan permintaan pasaran. Agenda utama di bawah JTDC adalah untuk memastikan bahawa peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pemain industri Johor adalah bukan sahaja mencukupi tetapi juga berkualiti tinggi dengan pakej gaji yang kompetitif dan bermanfaat yang menyeluruh. Ini bertujuan untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat baik serta memastikan tenaga kerja di Johor memenuhi standard global.
Dana yang disebutkan juga akan digunakan untuk menawarkan pelbagai kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri di zon Ekonomi Khas. Inisiatif ini diharapkan dapat memberi kesan besar kepada pemohon ekonomi di negeri Johor dengan memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat langsung daripada pembangunan pesat di zon ekonomi khas. Pada masa yang sama, ia juga berperanan dalam mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan pendapatan isi rumah dan memperkukuh daya saing Johor sebagai hub ekonomi yang maju di peringkat nasional dan antarabangsa.
Seterusnya, sebagai langkah pertama untuk mencapai matlamat penubuhan JTDC, inisiatif dari Premium Johor telah pun diperkenalkan. JTDC akan bertindak sebagai perunding yang menghubungkan bakat terbaik termasuk graduan cemerlang daripada institusi pengajian
tinggi dan institusi TVET dengan peluang kerjaya yang menawarkan gaji minima antara RM4,000.00 hingga RM5,000.00 sebulan sepertimana yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Johor.
Langkah ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan yang bernilai tinggi, tetapi juga membantu meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan dalam menghadapi cabaran global. Melalui inisiatif-inisiatif ini, kerajaan negeri Johor yakin akan dapat mempersiapkan dan memperkasakan bakat tempatan untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang dicipta melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi. Sekaligus memperkukuh daya saing Johor sebagai hub ekonomi yang maju di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekian, terima kasih.
Jemput Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih YB EXCO atas jawapan. Cuma boleh tak kalau Yang Berhormat EXCO nyatakan dalam Dewan ini, ada tak kita sediakan kuota untuk JS-SEZ ini. Saya yakin dia pasti ada tenaga kerja daripada luar dan juga daripada dalam. Jadi kami ni rakyat Johor nak tau JS-SEZ ini sangat baik, tapi berapa peratus peluang pekerjaan yang disediakan untuk orang Johor? Maknanya orang Johor lah. Sebab kita tak nak jumlah tenaga pakar daripada luar, jumlah tenaga pakar daripada dalam, lepas tu pekerja biasa daripada luar, pekerja biasa daripada dalam negara daripada Johor, peratus nampak pakar macam sikit, kita macam banyak, tapi bila dijumlahkan keseluruhan itu akhirnya orang luar lebih banyak berbanding Bangsa Johor itu sendiri. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang. Untuk maklumat, perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura di peringkat akhir untuk dimuktamadkan. Dan sepertimana yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Johor, kita telah meminta untuk dimasukkan dalam khususnya di dalam perjanjian tersebut supaya ada sasaran yang berkaitan dengan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang dapat diwujudkan, dapat dicipta melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas tersebut.
Dan juga dari segi kuota, buat masa sekarang kerajaan persekutuan mengekalkan satu kuota 80:20, di mana 80 peratus minima adalah pekerja tempatan untuk sektor mahir dan juga separuh mahir. Dan juga khas untuk Zon Ekonomi Khas tersebut, Kerajaan Negeri Johor telah pun mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan apabila sesetengah syarikat menerima insentif, manfaat ataupun fasilitasi daripada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri apabila mereka menubuhkan kilang, menyediakan perkhidmatan di negeri Johor ataupun di kawasan Zon Ekonomi Khas tersebut, kita ada minta supaya ada sesetengah peratusan bukan kata kuota tapi melihat kepada keperluan, syarikat melihat kepada keperluan pasaran supaya perlu untuk menggaji orang Malaysia di Zon Ekonomi Khas tersebut. Perkara-perkara tersebut sedang dimuktamadkan dan harap-harap, mudah-mudahan dapat diumumkan apabila perjanjian tersebut ditandatangani. Terima kasih.
Dan pastikan juga Yang Berhormat peluang pekerjaan itu dalam bentuk fizikal. Jangan nanti pekerja-pekerja itu adalah pekerja dari rumah. Ya. Dan mereka pula duduk di luar negara jadi peluang pekerjaan orang tempatan itu tidak ada. Saya jemput Yang Berhormat Tiram.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tiram No. 5.
Apakah ada perancangan pihak kerajaan untuk memperkenalkan sukan-sukan yang bukan terdiri daripada sukan popular atau aliran perdana seperti Cycleball, Artistic Indoor Cycling, Pickleball ke sekolah-sekolah dalam negeri Johor?
Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Tiram di atas perkara yang dibangkitkan iaitu perancangan pihak kerajaan untuk memperkenalkan sukan-sukan yang bukan terdiri daripada sukan popular atau aliran perdana seperti cycleball, artistic indoor cycling, pickleball ke sekolah-sekolah dalam negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat Tiram, Kerajaan Negeri Johor telah memfokuskan 40 jenis sukan, prestasi tinggi. Sukan-sukan ini haruslah mempunyai platform pertandingan di peringkat antarabangsa, peringkat kebangsaan, peringkat SUKMA mahu pun peringkat pertandingan dalam negeri. Kemudian barulah ianya akan disebar luaskan di peringkat daerah-daerah dan akar umbi, yakni pembangunan sukan ini juga akan berjalan seiring di semua peringkat dan hasilnya nanti atlet-atlet yang lahir dari sukan-sukan ini akan membawa nama negeri mewakili negara dan mencatat nama di persada dunia.
Sukan-sukan yang tidak popular yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tiram ini adalah merupakan sukan rekreasi. Tanggungjawab membangunkan sukan ini adalah melalui persatuan sukan itu sendiri yang mana yang mempunyai polisi atau perlembagaannya sendiri. Ia juga boleh disesuaikan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan negeri Johor bagi membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci. Kita akan melihat sama ada perkara ini akan memberi kesan positif atau pun tidak dari segi kemenjadian murid, perkembangan masyarakat dan juga kemajuan sukan itu sendiri dari semua sudut dan aspek di setiap daerah-daerah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun, salah satu sukan yang disebut oleh Yang Berhormat Tiram sudah pun diumum dalam Belanjawan Johor 2025 baru-baru yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada Khamis lalu iaitu sejumlah RM500,000.00 bagi pembinaan 8 gelanggang sukan pickleball. Buat semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang belum mengenali atau tidak tahu kewujudan sukan ini, suka untuk saya kongsikan sedikit makluman semua. Pickleball itu berasal dari Pulau Bainbridge di Amerika Syarikat oleh tiga lelaki bersaudara pada tahun 1965 yang ingin mencipta permainan mesra keluarga. Kisahnya mereka mempunyai gelanggang badminton tetapi tiada peralatan, jadi mereka membuat inovasi dengan menggunakan bat ping pong dan bola buffer iaitu bola plastik yang berlubang-lubang. Pickleball juga merupakan sukan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan juga ping pong dan ia kini mendapat sambutan yang cukup hangat di seluruh dunia termasuklah Malaysia Datuk Speaker. Kalau di Kuala Lumpur sampai pukul 3 – 4 pagi untuk booking.
Untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan peraturan yang cukup mudah dan sesuai untuk dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan tahap kemahiran, tidak hairanlah sukan ini semakin hari semakin popular. Pickleball juga adalah sukan yang dimainkan di gelanggang sama seperti court badminton dengan adanya jaring di bahagian tengah dan boleh dimainkan secara perseorangan atau beregu dengan objektifnya adalah memukul bola plastik berlubang menggunakan paddle atau pun bat sehingga melepasi jaringnya. Senang kata ia dilakukan sama seperti permainan badminton dan tenis. Mungkin ada yang bertanya mengenai kos sukan ini, bagi kos paddle untuk mereka yang baharu berjinak-jinak memulakan sukan pickleball ini dianggarkan sekitar RM50.00 hingga RM100.00, manakala paddle gred professional pula boleh mencecah sehingga RM300.00 atau lebih daripada nilaiannya. Sukan ini juga malah sudah dipertandingkan di peringkat antarabangsa seperti Terbuka Asia, Pickleball 2024 yang diadakan pada Februari lalu di Phuket, Thailand dan Malaysia tidak ketinggalan menghantar 46 pemain mewakili pelbagai negeri dan memenangi sejumlah 9 pingat dalam kejohanan itu.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, negeri Selangor juga menyenaraikan acara sukan pickleball ini untuk dipertandingkan dalam sukan termasya terbesar Malaysia iaitu SUKMA pada tahun 2026 nanti. Justeru dengan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini sekali gus menambah satu lagi kemudahan dan fasiliti sukan milik Perbadanan Stadium negeri Johor untuk kegunaan orang awam mahu pun atlet. Insya-Allah, pembinaan gelanggang ini juga akan memastikan fasiliti di Perbadanan Stadium Johor digunakan secara maksimum untuk pungutan hasil Kerajaan Negeri Johor juga. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya, jemput Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang menjawab soalan tersebut. Soalan tambahan saya jika ada di kalangan anak-anak Bangsa Johor ini yang mahir dan hebat dalam sesuatu sukan rekreasi yang tidak disenaraikan dalam sebagai sukan berprestasi tinggi adakah wujud ruang bagi mereka untuk terus diberi pendedahan menyertai kejohanan yang lebih besar dan apakah usaha Kerajaan Negeri Johor untuk membantu kumpulan ini selain daripada persatuan sukan tersebut yang perlu menggerakkan promosi untuk memperkenalkan sukan-sukan tersebut? Saya juga mohon cadang pada Yang Berhormat EXCO agar sukan-sukan rekreasi ini turut kita adakan persembahan semasa sukan Bangsa Johor 2025. Terima kasih.
Terima kasih di atas soalan tambahan yang cukup baik daripada Yang Berhormat Tiram. Insya-Allah, Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor melalui cawangan pembangunan sukan dan rekreasi ketika ini, melaksanakan pelbagai program-program rekreasi contohnya iaitu sukan permotoran, kursus outrage di tahap 1 hingga 3, mendaki, sukan air dan udara, sukan elektronik dan juga sukan e-Sport secara kolaborasi bersama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan mahu pun persatuan negeri.
Penggiat sukan dan aktiviti rekreasi ini juga akan menyertai kejohanan ke peringkat lebih tinggi seperti kebangsaan, antarabangsa melalui tiket persendirian atau pun individu atau pun ditaja dibiayai oleh persatuan dan kelab-kelab yang berdaftar. Banyak juga Yang Berhormat Datuk Speaker sepanjang saya menjadi EXCO Kerajaan Negeri banyak permohonan-permhonan melalui kelab rekreasi membuat permohonan ada yang layak dan ada yang tidak layak mengikut kebergantungan sukan yang dipertandingkan peringkat tahap mana. Dan suka juga saya ingin kongsikan hal yang disebabkan sukan-sukan ini tidak disenaraikan oleh sukan berprestasi tinggi dan tidak mempunyai program pembangunan latihan atlet secara berstruktur.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Tiram, meski pun wujud perbezaan antara sukan berprestasi tinggi dan juga sukan rekreasi kita tidak boleh meletakkan satu jurang atau persepsi berbeza sehingga akhirnya sukan rekreasi ini yang sememangnya memberi impak positif dan objektif yang baik tidak dapat kita dibubarkan sebaliknya menerusi agenda aktif Johor sukan rekreasi ini juga merupakan satu sukan riadah perlu disokong dan khususnya Bangsa Johor mengamalkan gaya hidup sihat. Kalau pagi Jumaat kita buat Semarak Subuh, ada juga di kalangan-kalangan ADUN menyatakan hasrat pagi Jumaat kita buat Semarak Subuh, lepas ni petang pada hari Jumaat kita buat semarak aktiviti Johor pula.
Untuk makluman Yang Berhormat Tiram, sukan rekreasi juga termaktub dalam aktiviti sukan sebagaimana di takrifkan dalam Jadual Pertama Akta Pembangunan Sukan 1997 atau nama lainnya Akta 576, justeru jika mana-mana persatuan yang memiliki atau dapat melahirkan atlet yang hebat dan berkebolehan luar biasa dan juga boleh ke satu-satu sukan yang lebih jauh dan tinggi, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan bakat-bakat ini khususnya yang berkemampuan mengharumkan nama negeri ke persada kebangsaan apatah lagi antarabangsa. Oleh yang demikian, jika Yang Berhormat maklum dan
mengetahui ada bakat-bakat baharu dan juga anak-anak muda di tempat Ahli Yang Berhormat menerusi sukan rekreasi bolehlah memaklumkan menerusi persatuan kelab atau kelab sukan mahu pun kepada Majlis Sukan Negeri Johor untuk kita sama-sama melihat dan membantu serta sokongan dapat disalurkan menerusi persatuan atau kelab sukan berkenaan. Apa yang boleh kita tegaskan Kerajaan Negeri Johor tidak pernah sesekali meminggirkan sebarang bentuk pembangunan bakat yang boleh menyumbangkan kepada mengharumkan nama negeri ini ke persada yang lebih tinggi. Sekian jawapan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 10 orang iaitu pegawai-pegawai di Pejabat DUN Tanjung Surat dan Guru Sekolah Rintis Johor. Ini di bawah Yang Berhormat EXCO Pendidikan dan 44 orang pemerhati daripada DUN kawasan Senggarang. Ini di bawah Yang Berhormat Senggarang. 20 orang pemerhati daripada kawasan DUN Serom. Di bawah EXCO Kebajikan dan 25 orang daripada pelajar-pelajar daripada Kolej International Crescendo. Ini di bawah Yang Berhormat kawasan Puteri Wangsa. Sila duduk. Saya jemput Yang Berhormat Kemelah.
Salam Sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor 6. Terima kasih.
Bagaimana Sekolah Rintis Johor dapat memastikan kualiti pendidikan yang konsisten dalam kalangan guru dan pengurusan sekolah?
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kemelah di atas soalan berkenaan. Bagaimana Sekolah Rintis Johor dapat memastikan kualiti Pendidikan yang konsisten dalam kalangan guru dan pengurusan sekolah. Yang Berhormat Datuk Speaker, Sekolah Rintis Bangsa Johor ditubuhkan seiring dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang menegaskan betapa pentingnya pendidikan berkualiti untuk kemajuan negeri Johor sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Oleh yang demikian dalam pembentangan Belanjawan Johor 2025, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz telah mengumumkan empat buah sekolah yang telah terpilih sebagai projek rintis, Sekolah Rintis Bangsa Johor. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Fadhlina Sidek serta kepimpinan Kementerian Pendidikan Malaysia kerana menyokong sepenuhnya cadangan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor yang telah dibawa oleh kerajaan negeri Johor dan akan dilaksanakan pada tahun 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat empat sekolah rintis yang terpilih dan diumumkan ketika Belanjawan Johor 2025 sebagai Sekolah Rintis Bangsa Johor. Antara sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang; Sekolah Kebangsaan Seri Kota Puteri 4, Pasir Gudang; Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara, Johor Bahru dan Sekolah Kebangsaan Tasek Utara Johor Bahru. Projek rintis melambangkan komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan setiap pelajar di Johor berpeluang menikmati pendidikan yang holistik dan bertaraf dunia sejajar dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai negeri Johor dalam sektor pendidikan. Kriteria pemilihan Sekolah Rintis Bangsa Johor telah ditetapkan dengan teliti untuk memastikan keberkesanan perlaksanaannya.
Antara kriteria utama dalam pemilihan Sekolah Rintis Bangsa Johor adalah sekolah yang mempunyai sesi persekolahan yang mempunyai satu sesi bagi memaksimumkan tumpuan terhadap pembangunan pelajar. Kedua, kepimpinan sekolah yang proaktif dan komited turut menjadi asas penilaian bagi menjamin keberhasilan program yang dirancang. Ketiga, sekolah yang dipilih juga merupakan sekolah dengan pencapaian sederhana supaya
memberi peluang untuk mengangkat prestasi sekolah ini ke tahap yang lebih tinggi. Dan keempat, dalam konteks hubungan sekolah rendah dan menengah, sekolah rendah yang terpilih berperanan sebagai feeder manakala sekolah menengah pula sebagai acceptor bagi memastikan kesinambungan pembangunan pelajar dari peringkat awal hingga ke peringkat lebih tinggi dapat direalisasikan dengan baik.
Jabatan Pendidikan negeri Johor sentiasa memberi komitmen yang tinggi untuk memastikan Sekolah Rintis Bangsa Johor mampu menyediakan kualiti pendidikan yang konsisten di kalangan guru dan pengurusan sekolah mengikut perancangan yang telah digariskan oleh kerajaan negeri Johor. Pencapaian ini akan dicapai melalui beberapa pendekatan dan langkah yang strategik. Penekanan yang telah digariskan dalam memastikan keberkesanan Sekolah Rintis Bangsa Johor adalah pemantapan Bahasa Inggeris selain memartabatkan Bahasa Melayu, kedua peningkatan kemahiran dalam bidang STEM, ketiga, pentaksiran yang setara bagi tiga mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan akhirnya ditetapkan terus dan keempat adalah melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Latihan dan pembangunan profesional adalah sangat penting dalam memastikan penyediaan program latihan berterusan untuk guru-guru termasuk bengkel yang berkaitan dengan perkembangan pedagogi dan teknologi pendidikan seperti Bengkel Lesson Study dalam kalangan guru Sains dan Matematik dan Strategies for English Learning and Reading (STELLAR), latihan pembelajaran dan pemudahcara PDPC STEM yang konstruktif, latihan PDPC STEM melalui pakar di Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura (National Institute of Technology, NIE) serta latihan pendekatan strategi pengajaran seperti konstruktivis dan inovasi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sekolah Rintis Bangsa Johor dimulakan dengan empat sekolah Yang Berhormat Datuk Speaker. Ianya akan bermula pada tahun 2025. Pengoperasian sekolah ini turut melibatkan rakan strategik dari universiti awam di Johor iaitu UTM, UTHM dan UTM, Universiti Singapura serta syarikat-syarikat swasta seperti James Dyson Foundation yang mampu menyumbang kepakaran masing-masing. Barisan pentadbir dan guru-guru dari empat buah sekolah terpilih ini akan diberi latihan dalam pengurusan, bidang Bahasa Inggeris dan STEM bagi mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi mereka bagi mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menarik. Seterusnya mampu mempertingkatkan kualiti dan kemenjadian murid sekolah tersebut. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan sentiasa membuat bimbingan, penilaian dan pemantauan berkala yang melibatkan pelaksanaan sistem penilaian berkala terhadap prestasi guru dan pelajar. Penilaian ini dilakukan melalui observasi kelas, ujian standard serta maklum balas daripada pelajar. Dapatan pemantauan berkala ini akan digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam membimbing guru untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan serta merancang introvensi yang sesuai. Sekolah dibekalkan dengan buku panduan, modul dan instrumen pemantauan bagi memastikan pendidikan yang berkualiti seperti yang telah dirancang dan dihasilkan. Sekian, terima kasih Datuk Speaker.
Ya, sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Aznan. Soalan tambahan saya. Dengan penambahan modul latihan dan penilaian berkala di Sekolah Rintis ini, apakah langkah-langkah yang diambil untuk memastikan beban kerja guru di Sekolah Rintis kekal terkawal dan tidak menyebabkan keletihan? Adakah bersesuaian untuk dilaksanakan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kemelah. Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mengawal bebanan guru di Sekolah Rintis Bangsa Johor ini, langkah-langkah seperti pengurusan masa yang bijak akan diambil dengan menyusun jadual kerja yang seimbang antara tugas pengajaran dan latihan
profesional. Selain itu, pengagihan tugas dalam kelas perlu dilakukan secara seimbang untuk mengelak daripada membebankan mana-mana guru dan pentadbiran sekolah. Di samping itu, penggunaan teknologi bagi semua proses penilaian dan pelaporan untuk memastikan beban kerja guru tetap pada tahap yang sesuai dan tidak melebihi kemampuan mereka. Ini bermaksud Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam masa kita mengekalkan, dalam masa kita membangunkan Sekolah Rintis Bangsa Johor ini, elemen pembelajaran seperti ada diteruskan seperti biasa, namun ada nilai tambahan dalam silibus-silibus yang kita lakukan untuk memastikan kecenderungan pelajar untuk terus belajar, untuk memastikan pelajar-pelajar ini akan terus mendapat meningkatkan kualiti pendidikan mereka di masa akan datang. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, jemput.
Terima kasih Datuk Speaker. Tahniah atas inisiatif sekolah rintis yang akan dilaksanakan pada tahun 2025. Semoga inisiatif ini akan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di Johor dan melahirkan generasi berdaya saing di peringkat global. Soalan tambahan saya Tuan Speaker, adakah kurikulum Sekolah Rintis ini akan berbeza daripada sekolah arus perdana? Jika ya, bagaimana? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama. Seperti yang saya sebutkan tadi Yang Berhormat Datuk Speaker, di mana elemen silibus dan modul yang sedia ada telah diteruskan. Maksudnya pembelajaran Sekolah Rintis Bangsa Johor ini akan dikekalkan pembelajarannya seperti biasa. Namun elemen tambahan akan diletakkan dalam beberapa pembelajaran yang diletakkan dalam subjek English, Matematik dan juga Sains. Dalam masa yang sama, guru-guru ini juga diberi latihan secara profesional dan sebab itulah kita mengadakan satu engagement bersama dengan NIE di Singapura untuk memastikan profensi guru-guru ini dapat ditambah nilai untuk memastikan murid-murid dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor ini dapat diberikan penekanan khusus kepada pendidikan mereka. Dalam masa yang sama kurikulum tambahan juga diberikan kepada murid-murid Sekolah Rintis Bangsa Johor ini untuk memastikan pada masa yang sama kerana ada dua elemen terpenting juga dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor ini adalah elemen terhadap pembangunan pelajar selepas SPM dan juga pembangunan pelajar tentang masa depan mereka di mana Sekolah Rintis Bangsa Johor ini bukan berakhir dalam Sekolah Rintis Johor sahaja, ia akan disambung, kesinambungannya kepada Johor Talent Development Council di Singapura. Jadi, sekian terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat. Kita doakan Sekolah Rintis Johor ini berjaya. Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat pagi, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pekan Nanas nombor 7.
Apakah langkah jangka masa panjang yang diambil oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor? Adakah insentif khas diperkenalkan untuk menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum di negeri ini?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Salam sejahtera dan salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha memperkukuh perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor, pelbagai langkah telah dirangka dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri khususnya melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional iaitu seperti berikut :
1. Strategi kepimpinan kawasan rukun tetangga. Misi utama rukun tetangga ditubuhkan adalah membantu dalam pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan harmoni. Memupuk kesefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta beridentiti sendiri dan motonya pula ‘Bersatu Terus Maju’. Objektif penubuhan kawasan Rukun Tetangga (KRT) ini adalah untuk memelihara, meningkat dan mengukuh perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
2. Strategi keselamatan. Peranan KRT dalam menangani kes-kes keselamatan di taman perumahan juga menyumbang kepada perpaduan komuniti. Penglibatan komuniti dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) mewujudkan rasa selamat dan menjamin kesejahteraan komuniti setempat. Secara tidak langsung juga penglibatan komuniti sebagai peronda SRS memberi peluang untuk mereka berkenal rapat dan mengukuh lagi ikatan perpaduan antara mereka. Kadar jenayah juga dapat diminimakan melalui SRS ini. Di samping itu jaringan atau dengan izin, networking antara pelbagai agensi dan KRT juga turut menyumbang untuk mengukuh lagi perpaduan antara masyarakat iaitu melalui perlaksanaan program jalinan kerjasama antara pihak PDRM, pihak AADK, APMM, Bomba dan lain-lain.
3. Pembentukan Generasi Muda iaitu Duta Perpaduan Johor. Di bawah inisiatif pembentukan Generasi Muda, Duta Perpaduan Johor diwujudkan sebagai platform generasi muda yang mempunyai kebolehan hard skill dengan izin, ketajaman fikiran dan kemahiran insaniah iaitu dengan izin, soft skill di kalangan Ahli Sekreatriat Rukun Negara dan Belia Johor, Southern Volunteer, Majlis Belia Negeri. Program ini bermatlamat untuk mempertingkatkan dan memperkasa peranan mahasiswa terutamanya belia Johor agar berdaya saing, bersahsiah tinggi, berjiwa patriotik, cinta negara dan mendukung aspirasi perpaduan. Justeru itu pengasahan minda dan meningkatkan keupayaan serta kemahiran berfikir aras tinggi dengan izin, high order thinking skill di kalangan Duta Perpaduan Johor merupakan elemen penting diterapkan bagi mempertingkatkan kemahiran hidup supaya lebih kompetitif dengan mendalami dan menguasai aspek 3C iaitu critical thinking, creativeness dan communication dalam membuahkan idea-idea kreatif dan inovatif di dunia serba mencabar ini.
4. Program Silang budaya. Pembinaan negara dan pembentukan identiti nasional merupakan perkara yang sukar difahami oleh generasi muda terutama di kalangan pelajar sekolah. Pembentukan identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab merupakan antara objektif dasar perpaduan negara yang perlu dicapai. Oleh itu perlaksanaan aktiviti berbentuk silang budaya amat penting diterapkan di kalangan pelajar sekolah yang berbilang kaum. Program ini memberi fokus kepada gerak kerja dan perlaksanaan Kelab Rukun Negara di sekolah yang terdiri dari SK, SJKC, SJKT dan Sekolah Menengah.
5. Program Persembahan Simfoni Perpaduan Silang Budaya. Program berkonsepkan silang budaya merupakan satu anjakan pradigma bagi menggalakkan persefahaman dan pendedahan mengenai kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum. Pemahaman dan pengetahuan terhadap perbezaan budaya dan adat resam amat penting bagi meningkatkan penerimaan kepada kepelbagaian yang secara langsung menjurus kepada rasa hormat-menghormati dan sensitiviti antara kaum. Perlaksanaan aktiviti dalam bentuk persembahan simfoni gabungan alat muzik, tarian silang budaya dan nyanyian untuk mengasah bakat dan kreativiti peserta berbilang kaum berinteraksi dan bekerjasama bagi membentuk persembahan bersilang budaya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor telah bersungguh-sungguh melakukan pelbagai usaha dan inisiatif untuk memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum di negeri ini. Namun demikian pada masa yang sama adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk tidak mudah mempercaya atau terpengaruh dengan laporan dalam media sosial seperti Twitter, Facebook, Whatsapp dan lain-lain kerana tidak semua kandungan yang disebarkan itu adalah benar. Rakyat sewajarnya berfikiran lebih rasional serta mencari maklumat yang benar dan tepat untuk mengelakkan tercetusnya sebarang perselisihan yang boleh menjejaskan perpaduan kaum. Rakyat sepatutnya bersyukur dengan keamanan yang dikecapi selama ini dan bersama-sama meneruskan usaha untuk mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum yang sekian lama terbina supaya keharmonian dapat dikekalkan. Terima kasih.
Ya, jemput Pekan Nanas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO memberi jawapan. Soalan tambahan Pekan Nanas. Bagaimana Kerajaan Negeri melibatkan aktif masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Dalam perancangan dan pelaksanaan program perpaduan khususnya di Pekan Nanas?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Soalan tambahan. Bila katakan untuk Pekan Nanas, semua aktiviti-aktiviti atau program-program yang dijalankan seperti Program Strategik Kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga, Strategik Keselamatan, Pembentukan Generasi Muda Duta Perpaduan Johor, Program Silang Budaya, semuanya dijalankan di setiap daerah di negeri Johor. Khususnya KRT di Pontian, kita mempunyai lebih kurang 37 KRT yang aktif. Penubuhan KRT merupakan satu strategi yang bermula di akar umbi bagi memperkukuh agenda perpaduan di kalangan masyarakat kerana kepimpinan jawatankuasa yang dilantik adalah mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Selain daripada itu di bawah rukun tetangga juga diwujudkan cawangan-cawangan kecil yang terdiri daripada pelbagai kaum di antaranya Jiran Wanita bagi kaum wanita, Jiran Muda bagi remaja berumur 13 tahun hingga 25 tahun, Jiran Usia Emas bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, Tunas Jiran bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Setiap cawangan ini juga dilantik seorang pengerusi bagi menyelaras cawangan tersebut bersama jawatankuasa-jawatankuasa rukun tetangga.
Bagi tahun ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM600,000.00 bagi bantuan khas komuniti rukun tetangga bagi menjalankan aktiviti-aktiviti di KRT di seluruh negeri Johor. Ini sedikit sebanyak boleh membantu menjalankan lebih banyak aktiviti khususnya di DUN Pekan Nanas.
Selain itu program silang budaya juga telah dijalankan di 56 DUN yang melibatkan kawasan kebanyakan wakil rakyat. Dan di Pekan Nanas dijalankan di SMK Pekan Nanas. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.
Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tangkak nombor 8.
Nyatakan tindakan dan cara yang akan diguna terhadap pengurusan sisa pepejal di luar kawasan PBT dan luar bandar supaya tidak menimbul masalah pencemaran terhadap alam sekitar.
Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Pekan Nanas nombor 9.
Didapati semakin hari tapak pembuangan sampah haram semakin banyak di sekitar kawasan tidak bercukai Pekan Nanas. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk membantu menyelesaikan permasalah ini.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara yang dibangkitkan oleh YB Pekan Nanas dan juga YB Tangkak adalah isu pembuangan sampah haram yang semakin banyak di luar kawasan PBT dan di luar bandar.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk menangani masalah ini beberapa langkah proaktif dan strategi jangka panjang telah dilaksanakan. Sebagai contoh peningkatan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dengan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan pihak yang didapati membuang sampah secara haram. Pihak SWCorp terus giat melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi-lokasi yang merupakan hot-spot utama terutamanya di sekitar Ulu Pulai dan di sekitar Pekan Nanas.
Sejak tahun 2021 sebanyak lapan kes siasatan telah dibuka bagi kawasan tersebut di mana lima kes telah selesai dengan jumlah denda sebanyak RM75,000.00 sementara tiga kes lagi masih dalam siasatan lanjut dan semakan perundangan. Dan di Tangkak pula, sebanyak tiga kes dengan denda sebanyak RM37,500.00
Berbagai usaha telah dijalankan dalam mengawal daripada aktiviti pembuangan sampah haram seperti menggali lubang, meletakkan penghadang seperti batu besar dan juga kerjasama dari pemilik tanah dan juga agensi penguatkuasaan yang lain bagi memainkan peranan di bawah undang-undang masing-masing.
Pihak SWCorp sentiasa berusaha memastikan lokasi-lokasi hot-spot tanah haram dibanteras sebaik mungkin. Selain itu, pihak Kerajaan Negeri melalui 16 PBT negeri Johor meneruskan komitmen untuk melaksanakan dan membudayakan Program Johor Bersih di kalangan rakyat dengan memperhebat lagi penguatkuasaan melalui Akta Jalan, Parit, Bangunan 1974 Akta 133.
Sehubungan itu, untuk aktiviti Johor Bersih, Plogging dan Program Jalan Angkat atau PJA, di Pontian berat sampah yang berjaya dikutip mencecah 15,518 kg sebanyak 4,296 peserta dan di Tangkak pula, berat sampah yang dikutip sebanyak 10,775 kg yang melibatkan penyertaan 1,973 peserta.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua 16 PBT agensi kerajaan dan persekutuan, NGO-NGO dan semua yang telah menjayakan agenda Johor Bersih bermula pada tahun julai 2022 sehingga 31 Oktober 2024, ia melibatkan penyertaan seramai 74,283 peserta dengan pungutan terkumpul seberat 572,868 kilogram.
Mengenai isu pengurusan sampah di luar kawasan PBT dan luar bandar pula, perlu diketahui bahawa kawasan tersebut adalah bukan kawasan penyelenggaraan dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal oleh PBT. Perkhidmatan tersebut hanya diberikan kepada pembayar cukai. PBT kerana ianya melibatkan kos pengurusan, perkhidmatan dan penyelenggaraan. Namun begitu, pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama dengan agensi berkaitan dan komuniti setempat bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di kawasan tersebut dapat dikawal. Sebagai contoh di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, bantuan tong sampah secara berpusat telah diberikan dengan kerjasama SWCorp kepada
kampung-kampung seperti Kampung Sungai Perling dan juga Kampung Teluk Serdang melalui tanggungjawab sosial korporat atau CSR.
Di Majlis Bandaraya Pasir Gudang pula, bantuan kutipan sampah di lokasi berpusat telah disediakan dengan kutipan dijalankan secara teratur dan efisien oleh SWCorp. Di beberapa PBT lain juga seperti Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Pontian telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan SWCorp untuk menguruskan sisa pepejal di luar kawasan pentadbiran PBT dengan tindakan pengurusan yang dilakukan berdasarkan keputusan bersama. Dan manakala di MPKu, kutipan sisa pepejal di luar bandar telah dijalankan secara aktiviti gotong royong yang melibatkan penduduk kampung dan atas permintaan ketua kampung. Kutipan sampah turut disokong oleh SWM melalui program CSR. Saya juga ingin berkongsi maklumat tindakan yang telah diambil dan tangkapan dan denda yang telah dibuat. Untuk rekod daripada tahun 2013 sehingga tahun 2024, sejumlah 127 kertas siasatan sampah haram telah dibuka oleh pihak SWCorp. Dan ia melibatkan 1,409,500 denda yang telah dikenakan. Dan daripada 127 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 87 telah selesai dan baki masih dalam siasatan IO.
Dan untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, orang ramai juga boleh melaporkan dan menyampaikan maklumat pembuangan sampah haram melalui rakaman, foto dan nombor kenderaan, lokasi dan ia boleh dihantar kepada SWCorp, PBT dan Ahli-Ahli Majlis dan sekarang ini SWCorp dengan adanya maklumat kenderaan tersebut, kita boleh check boleh semak sesiapa pemilik kenderaan tersebut dan notis boleh notis saman boleh dihantar hingga ke rumah.
Secara kesimpulannya YB, secara keseluruhan langkah-langkah seperti gotong-royong, program CSR, perluasan kawasan bercukai dan pengurusan sisa pepejal yang lebih teratur diharap dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar di luar kawasan PBT dan luar bandar. Kebersihan tindakan ini memerlukan pemantauan yang berterusan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien dan terkesan. Terima kasih.
Ya, sila Tangkak.
Ya, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO yang telah memberi jawapan.
Sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker soalan ini Tangkak pada asalnya diaju kepada Kemajuan Luar Bandar portfolio Kemajuan Luar Bandar sebab Tangkak tahu isu ini berlaku di kawasan luar bandar atau pun di kampung-kampung yang bukan di bawah kawasan bercukai PBT. Dan terima kasihlah kepada PBT-PBT di Johor kerana selalu membantu dan tidak lupa juga SWM.
Jadi soalan saya adalah sebenarnya apakah inisiatif atau pun tindakan yang boleh diambil terutama daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar untuk mungkin memberi peruntukan khas atau pun dana bagi mewujudkan sebuah sistem pengurusan sisa pepejal harian atau pun sisa sampah domestik untuk jangka masa panjang. Sebab sekarang ini di kawasan bukan bercukai, mereka memang tidak dibekalkan tong sampah dan tidak ada kontraktor untuk menguruskan sampah tersebut dan kedua soalan untuk PBT iaitu adakah PBT bersedia untuk memperluaskan kawasan bercukai atau pun sekurang-kurangnya mengadakan atau mewujudkan satu jenis kawasan bercukai mungkin khas atau terhad supaya dengan kadar cukai taksiran yang rendah untuk membantu mengurus sisa pepejal yang boleh dibawa SWM atau kontraktor pengutip sampah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih kepada YB Tangkak. Pertama bila sebut tentang isu sampah haram, sudah tentulah takkan ada sampah haram kalau tak ada yang membuang. Itu yang pertama. Jadi sebab itu di peringkat kerajaan melancarkan kempen Johor Bersih daripada tahun 2022 pada bulan Julai. Dah lebih 2 tahun lebih dah dan kita juga buat penguatkuasaan di peringkat PBT-PBT. Banyak juga di kampung-kampung khasnya di luar kawasan PBT, sampah bila terlalu banyak dia tidak dapat diuruskan.
Jadi apa orang kampung atau orang luar bandar ni buat ialah dia membakar sampah-sampah atau dibuang kat kawasan di kawasan tong-tong PBT. Sebenarnya salah satu kaedah yang mungkin di peringkat kerajaan boleh saya cadangkan pada YB ialah boleh memohon di peringkat PBT tersebut contoh Majlis Daerah Tangkak untuk membuat zonning semula atau tapi dengan kaedah berbincang dengan dulu orang kampung. Kena bincang dengan orang kampung atau wakil-wakil di situ untuk setujukah mereka untuk jadikan kawasan kampung itu kawasan zon pembayar cukai. Dan ini sebenarnya dah dilakukan contoh di Kulai kita buat di Kampung Pertanian. Dia walaupun dia kawasan kampung tapi dia kawasan pembayar cukai. Dan dia dapat dua peruntukan iaitu satu peruntukan pembangunan daripada Pejabat Daerah dan satu lagi projek pembangunan dari segi majlis perbandaran itu sendiri.
Yang kedua di Gunung Pulai. Gunung Pulai ini kawasan pelancongan tapi sebahagian daripada kawasan kampung itu adalah kawasan di bawah PBT. Bila kawasan di bawah PBT untuk makluman semua ialah mereka akan dapat dari segi fasiliti jalan, longkang, lepas tu apa pungutan sampah dan sebagainya. Tetapi nak memujuk, nak tenteramkan orang kampung apa faedah orang kampung dapat dengan kawasan pembayar cukai ini ini cabaran dia. Tetapi banyak kampung-kampung sudah mula menerima untuk diterima masuk dalam zonning PBT lah.
Dan di peringkat PBT khasnya PBT-PBT, kita boleh bincang. Kalau dia masuk permohonan masuk dalam kawasan zonning pembayar cukai, kita boleh kenakan rate minimum, mungkin penilaian lebih kepada rumah dan bukan kepada tapak tanah. Terima kasih.
Yang Berhormat, apabila satu-satu kawasan itu mohon supaya mereka boleh membayar cukai, apakah mesti persetujuan semua penduduk di situ atau pun segelintir sahaja?
Terima kasih kepada YB Datuk Speaker. Sebenarnya as long kita ada 60 – 70 peratus kita boleh sebab kadang-kadang apa yang dibangkitkan di peringkat orang kampung ni tak masuk dalam PBT ni sebab dia risau kawasan dia kena bercukai. Bila bercukai ni dia akan terlibat dengan berbagai syaratlah tapi sebenarnya apa yang berlaku yang kita buat di Kampung Pertanian dan Kampung Gunung Pulai, kita boleh kenakan rate yang rendah, rate yang rendah dan di peringkat penduduk biasanya yang datang tu bila kita notis datang untuk bincang dulu biasanya tak sampai satu kampung pun datang, 50 orang datang tapi asal saja ketua kampung kat situ ketua masyarakat kat situ bersetuju dan kita boleh laksanakan. Terima kasih.
Pekan Nanas tadi nak bangun?
Ok. Terima kasih Yang Berhormat Speaker. YB EXCO yang beri jawapan yang jelas. Soalan tambahan Pekan Nanas, apakah tindakan tegas akan diambil terhadap isu pembuangan sisa industri De Hoff Park Pekan Nanas selain denda atau saman terhadap syarikat dan individu. Hal ini kerana saya lihat aktiviti di lokasi tersebut masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab. Sekian, terima kasih.
Sebenarnya mungkin ramai yang saya nak maklumkan dalam Dewan yang mulia ini, bahawa SWCorp boleh ambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 672, Akta 672 bagi sampah haram di luar kawasan PBT atau di kampung atau di tanah pertanian. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 672. Untuk menjawab soalan YB Pekan Nenas sebenarnya di peringkat SWCorp ini kita dah sampai masa saya hari itu bincang untuk mereka buat Smart CCTV contohnya dalam kawasan-kawasan yang mereka buang sampah haram ini biasa tempat-tempat yang terpencil tempat-tempat yang jauh daripada kawasan PBT atau di hujung-hujung pekan. Jadi biasanya dengan adanya CCTV kita boleh merakam kenderaan, nombor plat dan sebagainya dan kita boleh buat tangkapan dan tindakan. Untuk menjawab tentang perkara yang berulang, kalau di peringkat syarikat memang kita tahu bahawa syarikat itu, punca daripada syarikat itu membuang sampah sisa pepejal atau sampah haram ini di peringkat PBT boleh ambil tindakan melalui Akta SWCorp 672. Terima kasih banyak.
Saya jemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya no 10.
Belanjawan 2025 bertemakan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat. Apakah inisiatif dan perancangan Kerajaan Negeri Johor bagi mensejahterakan rakyat di luar bandar?
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.Terima Kasih Yang Berhormat Pasir Raja atas soalan berkenaan dengan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat bagi kawasan luar bandar negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, secara umumnya Dasar Pembangunan Luar Bandar, DPLB telah merumuskan wawasan luar bandar yang sejahtera inklusif mampan dan holistik sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar menjelang tahun 2030. Wawasan ini diperhalusi dalam 10 teras iaitu Ekonomi Berdaya Saing dan Mampan, Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi, Modal Insan Yang Berkualiti, Prasarana Lengkap dan Canggih, Keunggulan Generasi Belia Luar Bandar, Wanita Luar Bandar Yang Progresif, Kehidupan Luar Bandar Yang Sejahtera, Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Berkesan, Biodiversiti dan Alam Sekitar Yang Mampan dan yang ke sepuluh Perumahan Pembangunan Wilayah dan Penempatan Desa Bersepadu.
Negeri Johor mempunyai 667 Kampung Induk, 73 Rancangan FELDA, 8 Penempatan FELCRA dan 60 perkampungan Orang Asli. Dalam usaha untuk mencapai negeri maju menjelang 2030, Yang Amat Berhormat Menteri Besar sering menekankan dan mengingatkan agar tidak ada satu kumpulan atau komuniti masyarakat yang ketinggalan dari segala perancangan dan pembangunan termasuklah komuniti luar bandar. Bagi mencapai hasrat luar bandar sejahtera iaitu melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sosial, ekonomi budaya dan persekitaran. Pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dijalankan bagi tujuan pembangunan luar bandar di Johor. Dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan luar bandar ini kita harap dapat merapatkan dan seterusnya penghapuskan jurang kualiti hidup antara masyarakat bandar dan luar bandar. Mewujudkan peluang-peluang ekonomi dan mewujudkan suasana sosial serta persekitaran yang kondusif dan lestari. Bagi tahun 2025, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, KKDW akan memperuntukkan peruntukan sebanyak RM291 juta bagi pelaksanaan 126 projek atau program baharu dan sambungan melibatkan pelbagai agensi bagi mensejahterakan masyarakat di luar bandar.
Bagi tujuan pembangunan prasarana dan infrastruktur kawasan luar bandar, sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur asas lot generasi FELDA, RM50 juta diperuntukkan bagi projek membina, menaik taraf dan melebar jalan-jalan kampung. RM8.05 juta bagi projek perhubungan Jalan Desa, JPD, RM4.38 juta projek ameniti sosial dan RM6.27 juta bagi projek bekalan air luar bandar. Dalam aspek pembangunan ekonomi sebanyak RM18.6 juta diperuntukkan bagi pembangunan Pekebun Kecil RISDA, RM31.6 juta diperuntukkan bagi pembangunan tanaman semula sawit dan getah FELCRA, RM9.165 juta bagi projek ekonomi KEJORA, RM900,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek bersepadu pembangunan ekonomi kampung atau PROSPECT. Pembangunan ekonomi luar bandar akan turut disokong oleh agensi-agensi berkaitan seperti agensi pertanian, agensi pembangunan usahawan.
Selain itu, Projek Sejahtera Komuniti Madani atau Sejati Madani adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk merancakkan ekonomi di peringkat komuniti terutamanya komuniti luar bandar bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana kepada komuniti yang layak. Peruntukan sebanyak RM1 billion bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk mengupayakan komuniti luar bandar melalui aktiviti peningkatan aktiviti sosio-ekonomi. Di dalam Program Sejati Madani ini, terdapat lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula. Antara komuniti yang layak memohon untuk Sejati Madani ini ialah Jawatankuasa Kemajuan Keselematan Kampung atau JPKK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan, JKKR FELDA, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, MPKK, Komuniti Kampung Orang Asli JPKKOA dan lain-lain komuniti.
Anugerah Aspirasi Desa Madani, untuk memperkasa kepimpinan dan komuniti desa khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung juga diwujudkan. Inisiatif tersebut bagi memberi pengiktirafan kepada kampung terbaik di seluruh negara dalam menzahirkan aspirasi kampung sejahtera selari dengan dasar pembangunan luar bandar. Aspirasi Desa Madani ini bertujuan memperkukuh potensi komuniti luar bandar dalam kepimpinan, pendidikan, kemahiran dan kesejahteraan ekonomi serta sosial. Inisiatif ini juga menyokong pembangunan smart village dengan izin dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. Keputusan Anugerah Aspirasi Desa Madani Peringkat Negeri Johor adalah Kampung Permatang Duku Pontian, Johan. Yang kedua atau naib johan Kampung Kesang Tasek, Tangkak dan tempat ketiga Kampung Parit Kemang, Senggarang Batu Pahat. Johan akan menerima wang tunai RM30,000 bagi pembangunan sosio-ekonomi yang merangkumi aktiviti ekonomi, keusahawanan, infrastruktur dan kreativiti komuniti desa. Dan Kampung Permatang Duku Pontian akan mewakili Negeri Johor ke Peringkat Anugerah Aspirasi Desa Madani Peringkat Kebangsaan.
Bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan tadbir urus yang mampan pula, sebanyak RM6.17 juta diperuntukkan bagi baik pulih dan naik taraf Tadika Kemas, RM120,000.00 bagi geran pentadbiran dan pengurusan ketua kampung negeri dan daerah, sebanyak RM127,000.00 diperuntukkan bagi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri atau SKSPS, PERKESO. Inisiatif baharu ini akan memanfaatkan semua ketua kampung dan ketua masyarakat dan sebanyak RM130,000.00 pula diperuntukkan bagi kursus peningkatan profesionalisme institusi pemimpin akar umbi melibatkan ketua kampung dan ketua masyarakat seluruh negeri Johor.
Bagi melaksanakan program kemasyarakatan komuniti luar bandar, sebanyak RM4 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Jelajah Desa Johor. Program ini akan melibatkan semua kampung tradisi Rancangan FELDA dan Kampung Orang Asli. Pembangunan bagi komuniti Orang Asli negeri Johor juga sentiasa diutamakan pada tahun 2025. Sebanyak RM16.21 juta diperuntukkan oleh JAKOA bagi melaksanakan pembangunan komuniti Orang Asli meliputi pelbagai aspek.
Bagi Inisiatif bantuan perumahan, pihak Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah telah menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera atau PPRS. Kadar bantuan telah ditingkatkan iaitu daripada RM66,000 PPRT kepada RM79,000 PPRS bagi skop bina baharu rumah. Dari segi reka bentuk saiz rumah ditingkatkan kepada 680 kaki persegi. Manakala bagi skop baik pulih rumah ditingkatkan daripada RM15,000.00 kepada RM20,000.00. Bagi tahun 2025, sebanyak RM12.30 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera atau PPRS di negeri Johor dengan sasaran 91 unit bina baharu dan 209 unit bagi baik pulih rumah. Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh pembangunan luar bandar, meningkatkan akses kemudahan asas serta memakmurkan kehidupan komuniti desa secara berkesan dan menyeluruh. Kesimpulannya Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan masyarakat luar bandar mempunyai kepentingan yang sangat besar dalam memperbaiki kualiti hidup, mengurangkan jurang kemiskinan dan memastikan kesejahteraan sosial yang lebih seimbang di sebuah negara dan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta berdaya saing. Terima kasih.
Saya nak membenarkan, ada soalan tambahan mungkin.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada EXCO yang telah memberikan jawapan. Alhamdulillah, saya melihat sebenarnya banyak program-program atau pun usaha-usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan bahawa masyarakat di luar bandar mendapat lebih keutamaan, tetapi dalam kita menuju ke era negeri maju menjelang 2030 dalam indeks kesejahteraan rakyat dari bahagian perangkaan tenaga manusia dan sosial mengikut data 2022, Johor berada di kedudukan ke 12 daripada 16. Jadi adakah perancangan-perancangan yang dapat dibuat oleh kerajaan negeri bagi memastikan negeri Johor berada di tahap yang lebih baik lah daripada kedudukan tersebut. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersetuju dengan saranan atau soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pasir Raja dan kerana itu, Kerajaan Negeri Johor sentiasa mengambil kira bagaimana untuk menggerakkan komuniti kampung dan luar bandar ini supaya semua kampung dan komuniti luar bandar di negeri Johor berdaya saing dan tidak lagi terletak di ranking yang terbawah. Sebab itu pada tahun 2025 ini, Kerajaan Johor telah memperuntukkan beberapa peruntukan yang saya sebutkan tadi khusus untuk pembangunan masyarakat kampung, khasnya, contohnya untuk JPKK dan Ketua Masyarakat diberikan peruntukan yang sangat besar untuk Kursus Profesionalisme Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat yang telah tergendala tahun lepas, tahun ini. Jadi ia akan dijalankan pada tahun depan. Termasuk juga Yang Amat Berhormat Datuk Speaker, Program Jelajah Desa yang mana Kerajaan Negeri mencadangkan supaya semua 667 kampung, 73 Rancangan FELDA dan 7 kawasan penempatan FELCRA digerakkan oleh semua wakil-wakil rakyat untuk program-program yang dirancang bersama supaya semua komuniti luar bandar ini terlibat dalam program-program negeri, insya-Allah. Terima kasih.
Saya nak membenarkan satu soalan lagi. Dijemput Yang Berhormat Tenang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Tenang no 11.
Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku.
Assalammulaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tenang. Betul soalan ini penting untuk diajukan pada hari ini kerajaan negeri amat komited untuk
memastikan bekalan air kepada pengguna di seluruh negeri Johor berada dalam keadan stabil dan berkualiti. Ini termasuklah merangka Pelan Strategik Bekalan Air sama ada jangka pendek, sederhana mahu pun panjang dan seterusnya direalisasikan agar bekalan air dapat dipenuhi mengikut permintaan semasa, sama ada daripada pengguna domestik mahu pun industri disamping menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan ekonomi negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker kebanyakkan gangguan bekalan air yang berlaku adalah bersifat luar jangka dan terancang disebabkan oleh beberapa faktor termasuk paip pecah disebabkan kondisi paip yang uzur dan lama. Pengurangkan atau pun penutupan operasi loji rawatan air berpunca daripada gangguan bekalan elektrik atau berlaku kerosakan peralatan elektrik dan mekanikal, pencemaran kualiti air dan kekurangan air mentah serta permintaan bekalan air yang tinggi pada waktu puncak dan musim perayaan. Oleh itu, bagi memastikan pengoperasian bekalan air sentiasa pada tahap yang optimum, di samping memastikan sumber air tidak dibazirkan, pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan negeri bersama operator Ranhill SAJ. Salah satu langkah keutamaan adalah dengan izin, Non Revenue Water (NRW). Dalam memastikan kadar NRW dikawal sebaik mungkin di samping memastikan NRW negeri Johor mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak SPAN antara langkah atau aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti penggantian paip lama, program pengurusan permintaan, program pengurusan atau kawalan tekanan air, pemasangan alat telemetri atau remote monitoring system (RMS) di tangki-tangki air, program penggantian meter lama, analisa kehilangan komersial seperti kecurian air, analisa dan pemantauan kadar alir ke setiap district metering area DMA, penggunaan teknologi terkini dalam memantau, menganalisa dan mengidentifikasi lokasi paip air yang bocor dan pecah serta memastikan kontraktor penyelenggaraan bersedia 24 jam bagi kerja-kerja baik pulih paip pecah.
Sebagai rekod, kadar NRW negeri Johor antara terbaik di Malaysia di samping negeri Selangor, Pulau Pinang dan Melaka. Sebagai contoh, prestasi NRW negeri Johor bagi tahun 2023 adalah 25 peratus iaitu lebih rendah berbanding sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak SPAN iaitu 25.5 peratus. Bagi tahun 2024 pula, sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak SPAN adalah 25 peratus, manakala prestasi semasa sehingga April 2024 adalah 24.6 peratus. Di samping itu pihak Ranhill SAJ telah menguruskan jajaran paip lebih kurang 24,000 kilometer seluruh negeri Johor bagi membekal air bersih untuk pengguna. Berdasarkan rekod, daripada 24,000 kilometer itu Yang Berhormat Datuk Speaker, 26.3 peratus atau 6,347.91 kilometer adalah paip lama jenis asbestos simen (AC) masih wujud. Dan kerja-kerja penggantian paip lama ini akan ditukar dengan pelbagai jenis paip baru seperti UPC, my steel, dan HTPE. Untuk makluman Ahli Dewan, program penggantian paip dilaksanakan setiap tahun. Sepanjang 1,690 kilometer paip lama yang telah digantikan sejak tahun 2010 iaitu lebih kurang 150 ke 200 kilometer setahun. Bagi program ini kerajaan pusat telah memperuntukkan RM200 juta setahun. Berikut merupakan rekod terkini panjang paip yang telah diganti sehingga 2024. Johor Bahru, 1,452 kilometer paip telah dibaiki berbanding dengan paip lama 8,023 kilometer; Kluang, 704 kilometer telah dibaiki berbanding 2,241 kilometer paip lama; Kota Tinggi, 581 kilometer telah diganti berbanding 2,162 kilometer paip lama; Mersing 207 kilometer paip baru berbanding 765 kilometer paip lama; Batu Pahat 1,283 kilometer paip yang telah diganti atau dibaik pulih berbanding 3,780 kilometer paip lama.Senarai yang lain boleh saya serahkan kepada Ahli-Ahli Dewan yang ingin mengetahui status di kawasan masing-masing. Walau bagaimanapun, dengan jaringan paip yang begitu luas Yang Berhormat Datuk Speaker, satu tahun lebih kurang 200 kilometer kita ada 6,000 bila cycle ni tak akan habis. Maksudnya bila kita siap satu cycle, paip yang dulu kita dah baiki dia dah jadi paip lama juga. Jadi dia memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan berterusan berdasarkan keutamaan serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Untuk rekod pada tahun
2023, semasa musim perayaan kita menerima 1,696 aduan berkenaan dengan ketiadaan air ataupun tekanan air rendah semasa musim perayaan. Namun begitu pada tahun 2024, hanya 1,054 aduan yang kita terima iaitu pengurangan sebanyak 37.9 peratus, ini tak termasuk kawasan Kluang yang pada raya tempoh hari kita dah selesaikan melalui pengoperasian Loji Kahang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat saya difahamkan Ranhill SAJ akan membina tangki air baru di Rengit dan akan ditender pada bulan Disember ini dan Kebenaran Merancang telah pun diperolehi. Pastikan ianya dilaksanakan, jika tidak nanti saya akan serbu rumah Yang Berhormat.
Datuk Speaker punya pasal kita akan pastikan dia siap.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, jika sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan pada hari ini akan dijawab secara bertulis pada hari ini juga. Ahli-Ahli Berhormat sidang ini saya tangguhkan selama 15 minit. Persidangan ditangguhkan pada jam 11.15 pagi. Persidangan disambung semula pada jam 11.30 pagi.
YB Speaker mengetuai persidangan.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024.Bill
Ahli-Ahli Yang Berhormat, suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112(2) maka perbahasan atas rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana tersebut dalam Rundingan Undang-Undang ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Salam sejahtera, salam maju Johor, salam Malaysia Madani. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memberi peluang kepada saya untuk membahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah mengucapkan setinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 22 November 2024.
Yang Berhormat, sebentar ya. Dewan ini ingin mengalukan kehadiran pemerhati seramai 9 orang daripada DUN kawasan Johor Jaya. Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dilanjutkan usia dan dikurniakan kebijaksanaan serta berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan. Patik juga menjunjung kasih setinggi-tinggi penghargaan atas titah Pemangku Sultan selepas mendapat perkenan dan restu Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada hari Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025. Negeri Johor antara penyumbang ekonomi yang penting kepada negara seperti apa yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kini Johor berada di satu era yang penuh dengan ruang dan peluang yang bakal mengubah lanskap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat Johor sebagai dengan izinnya, the next engine of growth for the country dengan pelaksanaan JS-SEZ, kelengkapan RTS, ETS, pelabur mahu pun dari luar atau dalam negara masing-masing tumpu perhatian dan ingin dan berminat melabur di negeri Johor. Jadi pertukaran cuti hujung minggu ini bukan sahaja dapat meningkatkan masa kualiti bagi ahli-ahli keluarga, tetapi lebih penting adalah dapat membantu negeri Johor meningkat
lagi daya saing dan seiring dengan ekonomi sedunia. Ia pasti akan meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan bagi pihak swasta dan juga pihak kerajaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2025. Dengan surplus sebanyak RM5 juta yang bertema ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’. Belanjawan ini merangkumi 6 Teras dan 244 Inisiatif. Di mana setiap inisiatif ini pasti akan memanfaatkan bangsa Johor tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Sebagai blok pengimbang kita sentiasa memberi kerjasama yang ikhlas kepada Kerajaan Negeri Johor atas semangat kerajaan perpaduan di persekutuan. Semangat tersebut telah pun dibuktikan dalam PRK Mahkota apabila kita berkempen bersama-sama dengan semangat Madani dan membawa kemenangan di Mahkota. Tahniah Mahkota. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan Tahun Melawat Johor 2026 dengan sasaran 12 juta pelancong ke negeri ini. Johor Jaya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Johor, di mana sektor pelancongan merupakan sektor yang penting bagi memaju ekonomi tempatan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, yang kini sendiri memegang portfolio pelancongan, telah mengumumkan pelbagai usaha menaik taraf produk pelancongan termasuk Zoo Johor, kerja-kerja restorasi Muzium Tokoh, menarik taraf kemudahan Taman-taman negara, menaik taraf kemudahan Taman Eko Rimba, menarik taraf kawasan Sarang Buaya Pasir Gudang, Muzium Layang-Layang dan banyak lagi. Namun Johor Jaya ingin bercadang beberapa cadangan yang saya sampaikan :-Pertama, menambahbaik kemudahan sistem pengangkutan iaitu dan juga jadikan Johor sebagai a must visit destination dengan izinnya. Pada ketika dahulu, Johor dengan imej pass by atau laluan ke Singapura. Kita perlukan tukar imej ini sepenuhnya. Menambahbaik kemudahan sistem pengangkutan dan perhubungan terutamanya dengan kelengkapan RTS ini akan menghubungkan Johor dengan Singapura dan juga meningkatkan kemasukan bilangan pelancong. Kita perlu mengambil kesempatan ini kemudahan RTS dan mempromosikan Johor sebagai a must visit destination supaya pelancong sedunia yang pergi ke Singapura datang ke Johor seperti sektor pelancongan yang sedang berlaku di Hong Kong, Shenzhen dan Macau. Kedua, penambahan laluan penerbangan antarabangsa. Dari darat ke langit, kedudukan Johor adalah strategik untuk menarik pelancong. Johor perlu tambah lagi laluan penerbangan antarabangsa dari negara China dan Indonesia dan buka laluan penerbangan baru dari Korea dan Jepun. Sebagai contoh, kini laluan penerbangan Senai Airport ke negara China hanya ke Guang Zhou sahaja. Dan laluan penerbangan dari Indonesia hanya ke Surabaya dan Jakarta. Kita perlu explore lagi buka lagi banyak city supaya pelancong dari negara ini meningkat. Setelah pengumumkan free visa sebanyak 15 hari dan baru-baru ini menjadi 30 antara negara China dan Malaysia, pelancong dari negara China ke Malaysia meningkat sebanyak 160 peratus dari Januari hingga Oktober berbanding dengan tahun lepas dan mencecah 2.28 juta orang pelancong. Dengan peningkatan pelancong negara China yang mendadak seperti ini, Johor perlulah menarik peluang ini dan memastikan bilangan ini bukan setakat melancong di KL atau Selangor sahaja tetapi datang ke Johor juga. Ketiga, cadangan ini adalah satu cadangan yang penting juga. Yang Berhormat Datuk Speaker, peruntukan promosi bagi kepada semua ADUN supaya ADUN menjadi duta pelancongan di negeri Johor. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan RM7.2 juta bagi promosi dan publisiti Tahun Melawat Johor 2026. Termasuk Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor dan kick off. Jadi Johor Jaya ingin mencadangkan, ini penting sebab peruntukan tambahan perlu dibahagikan kepada semua ADUN dan jadikan ADUN sebagai duta pelancongan untuk mempromosikan DUN masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ADUN merupakan salah seorang yang paling-paling familiar dengan kawasan masing-masing. Kita turun padang jumpa penduduk bukan sahaja untuk mengendalikan aduan atau masalah-masalah tempatan sahaja. Kita juga berjumpa dengan peniaga tempatan, melawat kedai makanan, restoran, produk pelancongan dalam kawasan kita masing-masing. Dan ini turut merupakan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat supaya memastikan business tempatan dan ekonomi tempatan berkembang. Selain artis, KOL, influencer dan lain-lain, wakil rakyatlah yang layak menjadi duta pelancongan di kawasan masing-masing dengan peruntukan promosi dan publisiti tambahan demi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026. Kedudukan strategik negeri Johor dengan keindahan pulau-pulau, keistimewaan dan kepelbagaian budaya dan warisan negeri Johor. Keenakan makanan tempatan dan kepenuhan sejarah di setiap daerah. Johor Jaya yakin, Johor akan muncul sebagai pilihan destinasi pelancongan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa dengan usaha yang lebih proaktif dan kreatif lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah kepada kerajaan Johor atas pembukaan semula Zoo Johor pada bulan Ogos. Pembukaan Zoo Johor adalah dinanti-nantikan dan disambut baik oleh pelancong domestik terutamanya budak-budak sekolah. Pengunjung Zoo pun mencecah 100,000 orang dalam tempoh 10 hari selepas pembukaan. Johor Jaya pun membawa 200 orang budak OKU dari 5 NGO untuk melawat ke Zoo Johor pada bulan September. Kebetulan pada hari tersebut YB EXCO Kerajaan Tempatan pun ada di sana meninjau kerja-kerja di Zoo Johor dan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB EXCO Wanita kita yang telah memberi bantuan kepada saya.
Namun, Johor Jaya mendapati infrastruktur yang sedia ada tidak mencukupi dan juga tidak mesra OKU, dengan izin, OKU friendly. Sebagai contoh, tidak ada laluan atau slop untuk kerusi roda yang mencukupi. Mengakibatkan sebahagian tempat itu tidak dapat dilawat atau oleh budak OKU yang memakai kerusi roda. Mesin-mesin minuman yang kurang dan slow motion sikit pun mengakibatkan kita beratur lama untuk membeli air minuman. Johor Jaya berharap penaiktarafan Zoo Johor Fasa 2 ini, boleh menambahbaik infrastruktur seperti ini dan juga menjadikan OKU friendly dan mama friendly yang memudahkan ibu menyusukan anak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini satu insiden telah berlaku iaitu seekor anjing liar yang digelar Coppy ditembak mati oleh Majlis Daerah Besut. Insiden ini telah menjadi satu isu hangat di seluruh negara, di mana penduduk tempatan, aktivis haiwan dan pelbagai pihak telah menggesa supaya semakan semula tindakan ini dan tindakan ini disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Di negeri Johor pula, pada Julai 2023 iaitu tahun lepas, pengguna social media telah berkongsi satu klip video yang menunjukkan beberapa orang pegawai yang berpakaian baju Majlis Perbandaran Kluang telah menggunakan tali untuk mengikat leher anjing liar lalu mengheret haiwan itu ke dalam lori majlis tersebut. Dalam klip video tersebut penduduk juga menggesa tindakan pegawai yang membunuh anjing bukannya menangkap anjing. Tidak dinafikan bahawa masalah anjing liar atau masalah haiwan liar turut menjadi masalah komuniti, seperti penduduk dikejar oleh anjing liar atau keselamatan diancam oleh haiwan liar.
Isu ini merisaukan semua pihak dan tindakan pihak berkuasa pula dikhuatiri kerana melanggar SOP. Dengan ini satu pelan tindakan perlu dikaji dan saya bagi beberapa contoh. Salah satu kaedah iaitu kaedah threat mutal release, dengan izin adalah satu kaedah baik yang dicadangkan bagi jangka masa panjang untuk menyelesaikan masalah anjing liar.
Sebagai contoh :-
1. Di negeri Pulau Pinang, merupakan negeri terawal bermula dengan kaedah TMR ini. Menurut NGO yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2018 sehingga Oktober 2024, mereka telah memandulkan 6,957 ekor anjing. 86 peratus adalah kembali atau release ke tempat asal dan 14 peratus adalah dipelihara.
2. Negeri Selangor dan Negeri Sembilan telah pun bermula untuk bekerjasama dengan NGO supaya kerajaan menanggung bayaran pemandulan anjing liar dan memastikan selepas pemandulan ini, anjing liar tersebut dikembalikan ke tempat asal sekiranya tidak menjadi kacau ganggu awam. Atau diletakkan di pusat peliharaan NGO.
Baru-baru ini, MBJB telah pun melaksanakan kaedah ini bersama NGO dan berjaya mengebiri 199 ekor anjing liar dan memberi rawatan seperti dengan izin, vaccine, rewarming dan kit prevention kepada anjing tersebut. Ini adalah inisiatif baik.Kaedah ini telah dibuktikan di beberapa negeri ini secara tidak langsung mengurangkan populasi anjing liar dan tidak melanggar dengan SOP Akta Kerajaan Tempatan.
Kerajaan Negeri Johor perlulah satu pelan tindakan jangka panjang untuk isu anjing liar. Johor Jaya bercadang :-
1. Gerakkan kempen perangkap mandulkan, lepaskan. Iaitu treat mutual release anjing liar di seluruh Negeri Johor.
2. Kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk tempatan untuk laksanakan kaedah ini dan selepas pemandulan anjing liar diletakkan di kawasan sesuai dan tidak menjadi kacau ganggu awam.
3. Menyediakan pusat tahanan awam bagi haiwan liar, bukan sahaja anjing liar tetapi juga haiwan liar.
4. Meningkatkan kesedaran dan menggalakkan pemilik anjing memandulkan anjing. Di Selangor, PBT mengurangkan Fee Lesen kepada pemilik yang telah memandulkan anjing peliharaan mereka, dan
5. Hentikan operasi tangkapan anjing liar yang tidak berperikemanusiaan sekiranya anjing liar tersebut tidak menyerang orang awam dan tidak menjadi kacau ganggu orang awam.
Yang Berhormat Datuk Speaker. Dalam Teras Keempat : Kemudahan dan Keperluan Asas. Yang Amat Berhormat telah memperuntukan RM52 juta bagi projek pembinaan sekolah awam, sekolah agama yang melibatkan 3 sekolah baru di Kempas, UTM Skudai dan Larkin dan 2 bangunan tambahan di Taman Pulai Indah dan juga Taman Sri Saujana.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, saya telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) baru-baru ini. Saya dimaklumkan bahawa sekolah agama ini sudah uzur dan tidak selamat digunakan oleh selepas dikaji oleh JKR. Antaranya 3 bilik khas dan 1 baris bilik belajar tidak dapat digunakan kerana bumbung sudah bocor. Bilik tandas pun sudah dibanjiri oleh air. Dan selain itu, satu bangunan tidak dapat digunakan iaitu bangunan teknologi kerana wiring nya menghadapi masalah. Sudah lama pihak sekolah maklumkan perkara ini kepada pihak pendidikan dan juga JKR. Dan, JKR pun sudah turun padang untuk meninjau tapak, tetapi sehingga hari ini tindakan masih belum diambil lagi. Bayangkan cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar kini berada di satu compound yang tidak selamat dan tidak selesa. Ini akan menjejaskan pengajaran cikgu dan prestasi pembelajaran budak-budak. Dengan ini, Johor Jaya memohon supaya pihak JKR mengambil tindakan segera supaya keselamatan cikgu dan juga pelajar adalah terjamin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai seorang Wakil Rakyat kita diberi mandat oleh pengundi untuk membawa suara rakyat, menyelesaikan masalah rakyat, menggubal dasar supaya Johor terus maju, rakyat hidup dengan sejahtera. Inilah tanggungjawab utama kita. Setiap penggal persidangan, kadangkala 3 mesyuarat atau 4 mesyuarat. Setiap persidangan kita hanya dibenarkan hantar 11 soalan iaitu 6 lisan dan 5 bertulis. Jadi, paling banyak pun 1 tahun seorang Wakil Rakyat boleh tanya 33 atau 44 soalan dalam Dewan yang mulia ini. Soalan-soalan ini pastinya soalan penting bagi kawasan masing-masing. Atau mustahak bagi pengetahuan lanjut.
Johor Jaya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan EXCO dan pegawai jabatan, agensi yang sudi menyediakan jawapan dalam masa yang singkat. Saya faham, nak sediakan jawapan itu bukannya mudah, perlu pasti jawapan adalah tepat sebab jawapan itu mungkin akan dipaparkan kepada semua seluruh rakyat. Namun, Johor Jaya amat kecewa bagi persidangan yang lepas, iaitu 3 hari bulan Oktober, Johor Jaya tanya YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, 2 soalan. Tetapi, jawapan yang saya dapat adalah maklum balas akan diberikan secara terus oleh Pejabat YB EXCO kepada Yang Berhormat. Tetapi sehingga kini, saya belum dapat jawapan lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Jaya ingat Johor Jaya sahaja yang tidak dapat jawapan, rupanya 2 soalan daripada Senai, 1 soalan daripada Penggaram, 3 soalan daripada Bentayan pun tidak dijawab oleh YB EXCO yang sama. Ok, itu dah 8 soalan. 11 tahun saya berada dalam Dewan yang mulia ini, tak pernah saya hadapi no answer dari YB EXCO. Lagipun soalan yang saya tanya itu adalah isu penting. Soalan yang saya tanyakan pada bulan Oktober adalah :-
1. Nyatakan syarikat atau individu yang membuang sisa kimia di Perindustrian Tiongnam dan Perindustrian Tropika dan apakah tindakan terhadap syarikat tersebut?
2. Nyatakan kontraktor, kos perbelanjaan dan skop kerja-kerja pembersihan terhadap isu pembuangan sisa kimia di Perindustrian Tropika baru-baru ini.
Kedua-dua soalan ini adalah penting di mana ini adalah isu alam sekitar yang membawa impak kepada penduduk tempatan. Kita semua tidak mahu isu Sungai Kim-Kim berulang lagi dan saya anggap jawapan itu bukanlah rahsia kepada rakyat. Oleh sebab itu, soalan Dewan jadi, Johor Jaya kembalilah ke dalam Dewan untuk bertanya kepada YB EXCO.
1. Apakah kekangan YB EXCO dalam memberi jawapan sehingga soalan-soalan yang ditanya di dalam persidangan lepas sampai sekarang tidak dapat memberi jawapan.
2. Saya tidak pasti sama ada rakan-rakan di sana hadapi situasi ini atau cuma soalan ADUN Pengimbang sahaja yang sengaja tidak dijawab oleh YB EXCO.
3. Haraplah Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengambil serius terhadap perkara ini dan barisan EXCO yang lain silalah beri kasih sayang kepada YB EXCO Yong Peng. Hormatlah Dewan yang mulia ini. Tunjuklah profesionalisme sebagai EXCO dan hormatlah ADUN-ADUN yang mewakili rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata izinkan saya sampaikan serangkap pantun. Ekonomi Johor terus maju, membangun pesat tanpa jemu, rakyat sejahtera hidup bersatu, Malaysia MADANI menjadi tumpu. Sekian, terima kasih.
Tahniah Johor Jaya. Saya mohon Bentara datang ke depan. Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Kain alas buat sejadah, sejadah berupa kain terpilih, giliran berbahas sampailah sudah, Datuk Speaker terima kasih. (Dewan bertepuk).
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya dapat kita sama-sama pada pagi ini dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025. Marilah kita turut sama-sama melafazkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, pemimpin agung yang sentiasa jadi pedoman dan teladan buat kita sehingga ke akhir zaman.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum meneruskan bicara izinkan patik terlebih dahulu merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang jatuh pada tanggal 22 November 2024 yang lalu. Patik dan seluruh warga Parit Yaani berdoa ke hadrat Allah semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja sekalian dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya.
Tidak lupa, patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri demi kepentingan dan kemaslahatan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seperti mana yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar tempoh hari, dalam tempoh 2 tahun Johor telah menarik pelabur sejumlah RM113.7 bilion menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan pada bulan September yang lalu. Kerajaan persekutuan telah melancarkan pakej-pakej inisiatif bagi Zon Kewangan Khas JS-SEZ yang berpengkalan di Forest City. Dan menjelang hujung tahun ini pula, kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas, Johor-Singapura (JS-SEZ) dan dengan pelaksanaan zon ekonomi khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana. Alhamdulillah, berkat usaha semua pihak terutamanya Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, buat pertama kali dalam sejarah kita Johor akan merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion pada tahun 2024. Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat dan seluruh warga Johor Darul Ta’zim. Semoga kita bersama-sama berusaha dan terus berdoa agar usaha ini akan diberkati hingga ianya menjadi realiti sehingga Tahun Maju Johor 2030.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga, saya Parit Yaani mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI di atas pengumuman peruntukan sebanyak RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan rolling plan kelima 2025 di bawah Rancangan Malaysia Yang Ke-12 untuk negeri Johor yang merangkumi keseluruhannya 143 projek baharu dan 433 projek sambungan. Ini termasuklah projek pelebaran jalan PLUS Highway yang mana ia melibatkan tiga Fasa iaitu Senai Utara-Sedenak RM525 juta, Fasa Kedua Sedenak-Simpang Renggam RM931 juta dan Fasa Ketiga, Simpang Renggam-Machap RM480 juta. Dan lantaran daripada itu, saya Parit Yaani, tempoh hari Yang Berhormat Sri Medan ada mencadangkan untuk membina persimpangan Sri Medan di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi daerah Batu Pahat. Di kilometer 109.3 antara Yong Peng Utara ke Pagoh yang mana dia punya panjangnya lebih kurang 45 kilometer dan sekiranya ada exit tol baharu nanti, dia mungkin dapat mengurangkan lebih kurang 10 kilometer daripada Yong Peng Utara ke Sri Medan. Dan setelah dibentangkan tempoh hari dalam Mesyuarat Tindakan
Daerah, nilainya adalah sebanyak RM132 juta dan ini saya rasa perlu kita sambut dan kita sokong terutamanya ADUN-ADUN di peringkat daerah Batu Pahat khususnya saya sendirilah di Parit Yaani. Dia seumpama Sri Medan dan Parit Yaani ini berpisah tiada.
Apabila, sekiranya cadangan persimpangan tersebut bakal dilaksanakan, ianya akan hubungkan antara Sri Medan, Tongkang Pechah dan ke Batu Pahat. Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, di Tongkang Pechah terdapat satu Bandar Putera Indah yang mana kita umpamakan seperti bandar baharu Batu Pahat yang saya dimaklumkan oleh Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat semalam ianya melibatkan keseluruhan keluasannya adalah sebanyak 1,280 ekar ataupun 521.23 hektar dan dalam kawasan ini juga, kita memerlukan beberapa cadangan iaitu yang pertama adalah cadangan menaik taraf jalan Tongkang Pechah, JKR J13 dari Persimpangan FT024 sehingga Persimpangan Jalan Bukit Pasir Batu Pahat Johor, di kawasan Yang Berhormat Penggaram. Mungkin Yang Berhormat Penggaram pun sebelum ini pernah dibawa dalam Dewan ini dan insya-Allah kalau kita bersama-sama, Yang Berhormat Penggaram, Yang Berhormat Sri Medan dan saya sendiri bersama Yang Berhormat Yong Peng nanti, insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan.
Di Bandar Putera Indah Tongkang Pechah ini juga, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia telah pun meluluskan satu projek baharu iaitu Projek Membina Baharu Sekolah Kebangsaan Bandar Putera Indah dalam bajet ataupun pembentangan belanjawan di peringkat persekutuan pada bulan lepas. Dan sekolah ini dijangka dapat menampung seramai 1,000 orang murid dan bernilai sebanyak RM60 juta. Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Dewan, Bandar Putera Indah ini sebenarnya ada rizab tanah sekolah kebangsaan empat, mana setiap tanah itu lebih kurang enam ekar dan ada dua lagi rizab tanah untuk sekolah menengah kebangsaan sebanyak sembilan ekar setiap satu dan satu lagi rizab adalah untuk sekolah agama seluas lebih kurang lima ekar juga. Dan ini saya mencadangkan supaya dapat dibangunkan bersekali sekolah kebangsaan dengan sekolah agama iaitu di kawasan yang sama di Bandar Putera Indah supaya ianya dapat menampung pelajar-pelajar yang akan mengisi sekolah kebangsaan yang baharu nanti. Bila dah ada sekolah kebangsaan, memang perlu ada sekolah agama dan saya harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan tersebut untuk kesejahteraan masyarakat di kawasan Tongkang Pechah khususnya.
Seterusnya, kita juga mencadangkan supaya dibangunkan sebuah masjid baharu di Bandar Putera Indah yang ini kelulusan tanah ataupun hak milik tanah telah pun ada seluas 5.5 ekar dan sementara sedang menunggu kelulusan untuk Tabung Khairat Pembangunan Masjid daripada MAIJ. Dan insya-Allah saya harap Kerajaan Negeri dapat mempercepatkan, menyegerakan kelulusan tersebut supaya segera tabung itu bergerak dan dalam masa yang sama kita juga berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan yang mana masjid tersebut dijangka bernilai RM15 juta Yang Berhormat Datuk Speaker.
Seterusnya di Parit Yaani juga, saya sendiri sedang membangunkan kawasan seluas lima ekar tanah milik Pejabat Daerah Batu Pahat iaitu Kompleks Penghulu Mukim 6 Linau di Parit Yaani. Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, sedang dibangunkan di situ adalah Pejabat Unit Pertahanan Awam. Ini dipanggil PUPA dan sedang juga dibangunkan di situ juga adalah Pusat Sebaran Maklumat Nasional ataupun NADI kalau dahulu kita panggil PADI dan di situ juga saya bercadang untuk menempatkan Southern Volunteers dan oleh itu saya memohon kepada Kerajaan Negeri Johor supaya diperkasakan peranan Southern Volunteers di setiap DUN. Kita mencadangkan agar Southern Volunteers ini diletakkan di setiap DUN untuk membantu Southern Volunteers yang sedia ada di peringkat daerah dan juga Southern Vounteers JPKK. Dan mungkin akan ada cadangan untuk menubuhkan Yayasan Southern Volunteers di peringkat negeri Johor. Nanti, mungkin Yang Berhormat EXCO boleh mengulas berkenaan dengan cadangan untuk menubuhkan Yayasan Southern Volunteers di peringkat negeri Johor.
Southern Volunteers untuk selama ini kita faham fungsi dan tugasnya sebagai sukarelawan adalah untuk membantu dari segi kebajikan dan saya mencadangkan supaya Southern Volunteers ini bersama-sama dengan Unit Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, apa yang dipanggil CDERT tersebut supaya ia juga dapat digerakkan dalam misi-misi bantuan menyelamat mangsa banjir sekiranya berlaku bencana banjir pada masa akan datang. Dan saya kira cadangan tersebut juga boleh membantu Ahli-Ahli Dewan di setiap DUN supaya ada juga tambahan penggerak untuk sukarelawan. Kita di setiap DUN ini dah ada penggerak masjid dan surau, kita dah ada Penggerak YPKDT dan Penggerak Sakinah tak silap saya. Ada juga Penggerak RISDA, boleh juga kita cadangkan untuk Penggerak Southern Volunteers.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya adalah berkaitan dengan cadangan bagi membangunkan sebuah dewan orang ramai di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat. Saya tempoh hari ada menjalankan aktiviti di kawasan Parit Besar iaitu Zon 9 Majlis Perbandaran Batu Pahat dan saya lihat memang ada keperluan untuk membangunkan sebuah dewan orang ramai di situ sepertimana yang terdapat di Parit Yaani, Dewan Orang Ramai Parit Yaani, sepertimana juga yang terdapat di Tongkang Pechah iaitu Dewan Orang Ramai Tongkang Pechah. Saya rasa memang ada keperluan supaya didirikan sebuah dewan orang ramai di situ. Kerana apa? Kerana selama ini masyarakat ataupun komuniti di kawasan Parit Besar itu khususnya termasuklah Taman Maju, Taman Sri Jaya, Taman Puteri Jaya dan keseluruhan kampung di Jalan Parit Imam. Jika berlaku bencana banjir, memang kurang pusat pemindahan mangsa banjir dan sekiranya berlaku ataupun ingin menganjurkan majlis perkahwinan, ada yang terpaksa tempah setahun lebih awal, Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan saya ingat memang ada keperluan supaya didirikan sebuah bangunan dewan orang ramai di situ.
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin melaporkan sedikitlah berkaitan dengan projek-projek sakit yang telah pun kita dapat selesaikan di kawasan DUN Parit Yaani. Yang pertamanya, adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya, Parit Yaani. (Dewan bertepuk). Dan untuk makluman Dewan, sekolah tersebut insya-Allah akan dapat disiapkan pada selewat-lewatnya 1 Julai tahun 2025. Dan saya difahamkan sekolah tersebut akan boleh beroperasi awal tahun 2026, insya-Allah. Dan yang keduanya adalah jalan alternatif daripada Peserai ke Parit Jalil yang menghubungkan antara tiga parlimen iaitu Parlimen Parit Sulong, Sri Gading dan juga Batu Pahat. Dan ini saya difahamkan boleh diserah miliknya. Mungkin boleh operasi secara rasmi selewat-lewatnya 31 Disember tahun 2026, Alhamdulillah. Dan ada lagi projek yang sedang ataupun akan dilaksanakan yang telah pun mendapat kelulusan bajet pada tahun yang lepas iaitu Projek Menaik Taraf Persimpangan Bindu di Tongkang Pechah dan saya difahamkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Johor, mungkin bulan depan akan dibuat tawaran ataupun iklan sebut harganya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya di kesempatan ini juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah serta terima kasih kepada seluruh jentera kerajaan yang diketuai oleh Tan Sri Dr. Azmi bin Rohani selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berserta dengan seluruh pegawai daerah terutamanya Pegawai Daerah Batu Pahat, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng dan ketua-ketua jabatan ataupun pegawai-pegawai jabatan peringkat daerah, JKR, JPS dan sebagainya. Dan saya harap, apa yang telah kita cadangkan ataupun rancangkan untuk tahun 2025 nanti akan menjadi kejayaan dan menjadi realiti untuk kita sama-sama membantu membangunkan negeri Johor ini, insya-Allah.
Seterusnya, saya juga tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Perling tempoh hari iaitu berkaitan dengan Kerajaan Perpaduan. Beliau ada menyebut sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini oleh Setiausaha Agong DAP, Saudara Anthony Loke, DAP tidak pernah meminta Kerajaan Perpaduan ditubuh di Johor. So, bagi DAP, katanya Kerajaan Johor sekarang ini yang ditubuh pada Mac 2022 iaitu sebelum Pilihan
Raya Umum November 2022 boleh terus dikekalkan dan oleh itu saya berharap sahabat saya, kawan-kawan saya di peringkat Pakatan Harapan janganlah lagi di luar sana ada lagi yang cuba menambah ataupun memohon untuk kerusi tambahan ke apa benda. Ini saya mohon supaya politik Kerajaan Negeri Johor ini stabil dan harmoni, supaya apa yang kita rancangkan menjadikan Johor sebagai negeri Johor maju pada tahun 2030 nanti menjadi kenyataan dan menjadi realiti insya-Allah. Dan lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Johor berserta seluruh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang telah pun bertungkus lumus menyiapkan Belanjawan 2025 pada kali ini dan semoga ianya menjadi apa ni, realiti dan kita sama-sama tunggu nanti apa yang akan dibentangkan oleh Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga penggulungan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar nanti. Oleh itu saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh Maju Johor, Rakyat Sejahtera, Parit Yaani mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani. Dijemput Yang Berhormat Gambir.
Bismilllahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terlebih dahulu Gambir mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang dan kesempatan untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada kali ini. Patik juga mewakili rakyat di Gambir ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada tanggal 22 November 2024 yang lalu. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir juga ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati khususnya dari DUN Serom yang berjiran dengan DUN Gambir kerana kami hadir dan datang daripada bahagian yang sama. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, tradisi membela rakyat dan tradisi memajukan negeri memang sudah sinonim dengan kerajan Barisan Nasional dulu, kini selamanya. Tekad dan kesungguhan pemimpin negeri dalam mencari dan mengarap idea memaju dan memakmurkan negeri ini tentunya dibuat dengan penuh rasa keinsafan dan keikhlasan bahawa negeri bertuah Johor Darul Ta’zim ini adalah amanah dari Allah yang maha esa. Untuk kita sebagai khalifah mengemudikannya dengan penuh rasa beramanah dan bertanggungjawab. Hakikat ini dibuktikan melalui pembentangan Belanjawan Johor 2025, yang buat kali ketiga berturut-turut mencatatkan belanjawan surplus atau lebihan. Kesungguhan dalam memastikan setiap sen rakyat ini dibelanjakan dengan penuh berhemah mengurangkan seberapa banyak ketirisan dan yang paling penting ada lebihan untuk kita simpan dan kita gunakan pada ketika susah. Yang Berhormat Datuk Speaker, inilah sebenarnya tauladan baik yang sedang cuba ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk seluruhnya Bangsa Johor. Dalam soal kita mengurus dan mengawal pendapatan dan perbelanjaan isi rumah. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh kepimpinanan negeri atas inisiatif-inisiatif baik yang tentunya untuk kesejahteraan rakyat. Agenda Maju Johor yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar merupakan satu agenda yang perlu dipikul dan dijunjung bersama oleh segenap lapisan masyarakat. Ianya harus menjadi satu matlamat dan keinginan yang dikongsi bersama oleh seluruhnya Bangsa Johor. Kerajaan Negeri diminta untuk lebih proaktif dalam mempromosikan jenama Maju Johor ini supaya ia lekat di minda pemikiran dan hati sanubari rakyat jelata. Promosikanlah jenama ini sebagai jenama kebanggaan Bangsa Johor seluruhnya. Tidak cukup, Maju Johor ini hanya diungkapkan dalam pembukaan ucapan para pemimpin Datuk Speaker, ia harus meniti dari bibir ke bibir seluruh rakyat. Ia harus menjadi
tajuk bual bicara dalam setiap medan pertemuan rakyat. Kita mahu maju bersama, kita mahu makmur bersama. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir mencadangkan kerajaan Johor harus memulakan sesi soal selidik umum berkenaan tahap kefahaman, tahap pengetahuan Bangsa Johor terhadap maksud, terhadap pengisian, terhadap 6 teras utama dan apa jua yang berkaitan dengan iltizam memajukan negeri oleh para pemimpinnya. Rakyat harus digerakkan fizikalnya, harus digembleng pemikiran dan nuraninya, ditimbunkan pengetahuan dan kefahaman untuk bersama-sama mencapai agenda Maju Johor. Saya mohon kepada Yang Berhormat EXCO Penerangan untuk lebih proaktif, lebih agresif dan mencari kaedah yang lebih kreatif dalam memasarkan, dalam mempromosikan agenda Maju Johor. Soal selidik umum ini perlu diadakan untuk mengetahui tahap sebenar pengetahuan rakyat berkenaan dengan Maju Johor 2030. Promosi dan pertandingan berkaitan selain dari pemasangan papan tanda besar untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan mencapai status Negeri Maju 2030 perlu diperbanyakkan. Saya perhatikan tiada peruntukan tertentu yang dimasukkan dalam Belanjawan 2025 bertujuan mempromosikan agenda Maju Johor 2030 ini Datuk Speaker. Sayang sungguh, sekiranya agenda yang sarat dengan keinginan dan keazaman untuk memajukan negeri yang tercinta ini tidak mencapai matlamat yang diinginkan dek kerana kelemahan dari sudut promosi dan pemasaran. Jadikan lah ia sebagai agenda rakyat. Agenda yang dikongsi segenap lapisan masyarakat. Jadikahlah ia sebagai jenama kebanggaan Bangsa Johor kerana akhirnya, apa jua yang ingin kita laksanakan kepada rakyat jualah segala manfaat yang kita sasarkan. Yang Berhormat Datuk Speaker, hampir setiap kali perbahasan saya akan membawakan isu bahawa kemajuan pembangunan Johor ini harus tidak meminggirkan mana-mana daerah, harus tidak meninggalkan mana-mana wilayah. Pembangunan dan kemajuan ini harus menyeluruh dan holistik. Penumpuan kepada sesuatu kawasan pembangunan itu tidak salah, tetapi ia harus diseimbangkan dengan pembangunan-pembangunan di tempat-tempat lain. Jika tidak, kami hanya dibiar menanti, ibarat pungguk rindukan bulan. Kami hanya dibiar menjadi pemerhati, laksana jentayu menantikan hujan. Johor utara sebuah wilayah yang berada yang di hujung Johor mengandungi beberapa daerah seperti Muar, Tangkak dan Segamat. Ketiga-tiga daerah ini juga perlu dibawa bersama dalam arus kemajuan dan pembangunan yang setara dengan daerah-daerah lain dalam negeri Johor. Jika perancangannya ingin untuk menjadikan daerah-daerah ini sebagai hab pertanian moden, maka laksanakanlah bersungguh-sungguh. Curahkanlah segala peruntukan yang wajar untuk membangunkan daerah kecil tanah tumpah darah kami ini sebagai hab pertanian yang komersial dan moden. Jika perancangannya ingin menjadikan daerah kecil kami ini sebagai destinasi pelancongan tersohor di Malaysia, maka gemblengkanlah segala usaha, canailah segala idea, carilah pelabur berpotensi untuk memajukan daerah ini. Bukan sahaja dengan menambahbaik pusat pelancongan sedia ada, malah mencipta dan membina produk pelancongan yang baru. Sebagai bandingan, selangkah kami menuju ke Sg. Rambai, daerah Jasin, Melaka, berapa kreatifnya mereka. Sehinggakan tangki simpanan air boleh bertukar wajah menjadi sebuah replika tanjak tangki air. Malang sungguh, kerana belanjawan kali ini tiada apa pun pengumuman peruntukan untuk sektor pelancongan di daerah Tangkak. Mungkinkah Kerajaan Negeri sudah berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan infrastruktur daerah untuk menyambut kehadiran pelancong pada tahun 2026 nanti. Gambir juga merasa dukacita kerana tidak banyak inisiatif dan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan untuk Tangkak pada Belanjawan Johor 2025 ini. Gambir tidak mahu membandingkannya dengan daerah-daerah lain tetapi persoalannya, apakah daerah kecil tidak penting dalam konteks Maju Johor 2030? Janganlah kami terus dibiar menjadi penanti dan pemerhati. Biarlah dalam tempoh penggal ini rakyat bangsa Johor seluruhnya di Johor utara melihat kesungguhan kerajaan negeri untuk memajukan juga daerah-daerah di Johor utara, khususnya Tangkak seumpama kemajuan dan pembangunan yang sedang dicipta
dan dibawa di daerah-daerah lain. Kami juga mengharapkan agar ada limpahan untuk Johor utara hasil dari pembangunan dan kejayaan JS-SEZ. Dalam masa yang sama juga rancanglah, bangunlah juga untuk Johor utara Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, isu penjagaan kesihatan merupakan antara perkara yang menjadi perhatian Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor. Dalam titah semasa Pembukaan sidang Dewan yang terdahulu, Gambir menjunjung kasih atas titah tersebut dan berharap kerajaan negeri akan secara serius menjunjung titah dan melaksanakannya secara bersungguh-sungguh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir ucapkan jutaan tahniah atas peruntukan-peruntukan yang telah diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025 untuk beberapa klinik dan hospital kerajaan dalam negeri Johor. Ini membuktikan bahawa kerajaan ini walk the talk, dengan izin. Kerajaan Negeri tidak rela membiarkan fasiliti kesihatan negeri ini berada dalam keadaan usang, kemudahan yang tidak mencukupi dan rakyat tidak selesa ketika mendapatkan rawatan perubatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, persoalan yang ingin Gambir lontarkan di sini adalah bila pula Klinik Kesihatan Bukit Gambir akan dinaiktaraf dan dibina semula? Isu ini telah berulang-ulang kali Gambir bangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini. Berkali-kali juga soalan-soalan lisan dan bertulis dikemukakan bagi mendapatkan penjelasan. Namun sehingga ke saat ini, sehingga ke detik ini, tiada penjelasan yang tuntas tentang persoalan bilakah klinik kesihatan baru akan dibina di Bukit Gambir. Saya merayu kepada Yang Berhormat EXCO Kesihatan, pandanglah isu ini secara serius. Timbanglah permohonan ini dengan penuh perasaan simpati, kasihanilah warga Gambir yang sangat-sangat memerlukan sebuah klinik kesihatan baru yang lebih selesa dan selamat. Saya jemput dan persilakan Yang Berhormat EXCO Kesihatan agar turun padang dan melihat sendiri keadaan. Saya difahamkan bahawa isu tanah masih menjadi masalah, dengan hormat dan takzimnya Datuk Speaker, saya ingin menyatakan bahawa masalah ini bukan masalah rakyat. Kerajaan yang prihatin akan segera mengatasi, mencari jalan penyelesaian, melaksanakan proses pengambilan balik tanah dengan pantas dan memulakan pembinaan dengan segera, saya mohon agar Yang Berhormat EXCO Kesihatan lebih proaktif dan agresif dalam memperjuangkan pembinaan klinik kesihatan baru di Bukit Gambir. Saya faham bahawa isu ini adalah isu kerajaan pusat, tetapi jika kita di peringkat negeri tidak secara bersungguh-sungguh membantu, bagaimana mungkin ianya dapat dibawa dan diangkat untuk perhatian Yang Berhormat Menteri Kesihatan di peringkat federal. Dengan izin, saya mohon supaya isu ini dapat diselesaikan oleh pihak Yang Berhormat EXCO Kesihatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, tanah seluas lebih kurang 6 ekar di Parit Jarum Tengah telah Gambir bangunkan secara berfasa bagi menjadikan sebagai sebuah padang awam. Asas kepada angan-angan orang Gambir untuk melihat mini stadium atau kompleks sukan dapat diwujudkan di sana. Pada tahun 2017, kelulusan untuk pembinaan padang awam ini telah pun diberikan oleh kerajaan negeri pada ketika itu yang diketuai oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin. Bajet awal telah pun diberikan, telah pun diluluskan sebanyak RM1 juta dan ia telah membangkitkan keterujaan masyarakat di sana. Malangnya Datuk Speaker, malangnya pada tahun 2018, akibat kekalahan kerajaan Barisan Nasional, Menteri Besar Johor pada ketika itu, yang baru pada ketika itu telah membatalkan projek ini. Ianya sangat mendukacitakan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan izin dan takdir tuhan, insan kerdil yang berbahas pada hari ini Datuk Speaker telah terpilih sebagai Wakil Rakyat DUN Gambir. Alhamdulillah, terima kasih dan syukur, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah pun meluluskan sebanyak RM200,000.00 untuk kerja-kerja amal. Dan, pada hari ini dengan penuh rasa hormat saya mohon kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan juga YB Yang Berhormat EXCO dapat membantu untuk saya menyiapkan padang bola tersebut Yang Berhormat Datuk Speaker.
Gambir tidak minta sebuah stadium berstatus international, tidak mohon gelanggang futsal bertaraf antarabangsa atau stadium e-sport bertaraf dunia, cukuplah semua mini stadium yang dibina secara berfasa bagi kegunaan riadah anak muda. Saya percaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat EXCO Sukan sangat prihatin dan cakna anak muda dan mudah-mudahan projek ini dapat disiapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan projek Residensi Bangsa Johor di daerah Tangkak. Projek ini dicadangkan untuk dibina di atas bidang tanah di Sagil yang dahulunya telah dirancang untuk pembinaan Rumah Mampu Milik Johor pada tahun 2017. Tetapi malangnya akibat kekalahan kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu tanah tersebut telah terbiar, dibiarkan dan tidak projek ini tidak diteruskan.
Isu ini juga telah berkali-kali dibawa sejak tahun 2022 dan syukur alhamdulilah, Datuk Menteri Besar Johor dan EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Dato’ Mohd Jafni bin Md Shukor akhirnya memberikan komitmen untuk meneruskan projek ini dengan penjenamaan semula dan kini dikenali sebagai Residensi Bangsa Johor.
Datuk Speaker, saya difahamkan bahawa kerja-kerja di atas tanah akan mula pada suku pertama pada 2025. Mewakili seluruh rakyat di DUN Gambir saya mengucapkan jutaan terima kasih atas komitmen untk meneruskan projek perumahan ini. Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Johor dan juga Yang Berhormat EXCO Perumahan yang sangat komited memastikan pembangunan tersebut dapat direalisasikan.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, projek ini kos pembangunan keseluruhannya adalah RM32.8 juta. Manakala, nilai jualan rumah adalah sekadar RM13 juta. Bermaksud apa Datuk Speaker, bermaksud kerajaan ini telah menanggung subsidi RM20 juta untuk keseluruhan 98 unit yang bakal dibina. Di mana lagi hendak kita cari kerajaan sebaik ini? Di mana lagi hendak kita cari kerajaan seprihatin ini? Dan yang paling penting, paling menarik Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu komponen pembangunan adalah pembinaan surau dimasukkan di dalam komponen pembangunan. Ini membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini benar-benar serius di dalam soal bukan sahaja membantu rakyat memiliki rumah kediaman malah dalam masa yang sama serius di dalam soal meningkatkan dan memartabatkan syiar Islam.
Yang Berhormat Datuk Speaker, monsun timur laut yang melanda Malaysia pada ketika ini benar-benar merisaukan, cukup-cukup membimbangkan. Bukan sahaja kepada rakyat di luar sana, malah juga kepada seluruh Ahli Dewan dan mungkin juga termasuk Datuk Speaker juga merasa resah gelisah. Projek tebatan banjir yang sedang giat dijalankan perlu dilipat gandakan pelaksanaan supaya negeri bertuah ini bebas dari masalah banjir atau sekurang-kurangnya mengurangkan impak banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengambil ruang dan kesempatan di sini supaya kerajaan memikirkan jalan untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di DUN Gambir khususnya di Kampung Simpang 5 Darat. Satu pelan komprehensif dan menyeluruh perlu dilaksanakan agar masalah ini tidak berulang-ulang berkali-kali malah dalam tempoh 1 tahun berlaku 2 atau 3 kali kawasan ini mengalami banjir.
Begitu juga dengan fenomena banjir termenung Datuk Speaker di kawasan kebun-kebun kecil yang menjejaskan punca pendapatan orang kampung juga harus difikirkan jalan penyelesaian kalau perlu letakkan atau tambahkan pam air secara kekal untuk alirkan air keluar dengan lebih pantas, usahakanlah. Letakkanlah. Jangan dah letak kemudian dibawa keluar sepertimana yang telah berlaku sebelum itu lagi. Letakkanlah secara kekal operasikanlah segera bila timbul keperluan. Binalah lebih banyak pintu kunci air untuk mengelakkan limpahan air masuk ke kawasan perkampungan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mata ini sering melihat, hati ini juga sentiasa merasai bagaimana peritnya masyarakat kampung yang bergantung rezeki kepada hasil dari kebun. Betapa berdukanya mereka apabila hasil tidak dapat dipetik dan dijual keluar. Ia bukan untuk tempoh 1 atau 2 hari, seminggu atau 2 minggu malah kadangkala ia menjangkau sehingga 2 hingga 3 bulan. Saya mengambil kesempatan dan peluang ini untuk merayu kepada kerajaan negeri supaya dapat menambah peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Tangkak supaya mereka bersiap sedia dengan kehadiran musim tengkujuh pada masa akan datang. Peruntukkan sebanyak RM3.4 juta untuk tahun 2024 termasuk yang disalurkan kepada JPKK adalah sangat-sangat tidak mencukupi.
Sila gulung.
Baik, Datuk Timbalan Speaker. Terima kasih di atas peluang yang telah diberi Datuk. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Tinggi merimbun si pohon ara, jadi penyeri jeti terapung, maju Johor rakyat sejahtera, Belanjawan 2025 ini, Gambir mohon untuk menyokong. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Terima kasih Gambir. Dijemput Yang Berhormat Skudai.
Terima kasih Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor dan salam Malaysia MADANI. Dan, saya mulakan perbahasan pada hari ini sebagai Ahli Dewan yang mulia dengan merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tanggal 22 November yang lalu.
Sidang Dewan sekalian, saya ingin ambil kesempatan hari ini mewakili penduduk kawasan Skudai untuk mengucapkan dan merakamkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz di atas segala keprihatinan beliau terhadap kawasan Skudai.
Skudai merupakan antara kawasan bandar terawal yang kini berhadapan dengannya pelbagai masalah seperti banjir kilat, masalah air dan pelbagai lagi. Alhamdulillah, setiap kali masalah yang membelenggu penduduk disampaikan terus kepada Menteri Besar pasti ada tindakan segera yang diambil. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat.
Saudara saudari yang dihormati. Musim hujan sudah tiba. Minggu-minggu dan bulan-bulan sebelum ini kita disajikan dengan pelbagai berita berkenaan dengan pokok tumbang yang merosakkan harta awam, malahan ada kes yang kita lihat sehingga meragut nyawa dan di Skudai pula pada awal November kurang jam 7.45 malam pokok uzur tumbang dan menghempap 5 buah kereta di Flat Taman Melawati dan 5 buah kereta ini telah ditimpa pokok dan mengalami kerosakan. Dan salah satunya adalah kereta bezza yang baru sahaja dipakai 2 minggu di mana mangsa melawat ibu yang tidak sihat di kawasan flat tersebut dan kini terpaksa menanggung kos baik pulih sebanyak RM35,000.00.
Datuk Speaker, kalau kita lihat kepada kes sebelum ini seperti implikasi kes Mahkamah Persekutuan berkenaan pokok-pokok di atas tanah persendirian yang menimbulkan bahaya, kita boleh melihat keputusan kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 2015 di antara Ahmad Jaafar Abd Latif dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) di mana, mahkamah telah memutuskan bahawa DBKL bertanggungjawab untuk mengalih apa-apa pokok yang berkemungkinan menyebabkan bahaya kepada keselamatan awam walaupun pokok tersebut berada di kawasan persendirian. Dan mahkamah juga kita lihat pada kes ini merujuk kepada Seksyen 101(b)(c) Akta Kerajaan Tempatan 1976, malahan mahkamah memutuskan bahawa DBKL dan PBT mempunyai tanggungjawab mengarahkan pemilik
tanah untuk memotong dan juga mencantas mana-mana pokok yang merbahaya. Malah akta tersebut tidak menghalang DBKL atau pun PBT untuk masuk ke dalam tanah persendirian untuk memotong atau mencantas pokok yang mendatangkan bahaya kepada awam setelah notis diberikan. Dan saya ingin bertanyakan kepada PBT di negeri Johor adakah peka terhadap kes seperti ini? Sebab apa, banyak kes-kes yang melibatkan pokok besar yang mengganggu keselamatan awam, pengadu maklumkan bahawa jawapan yang seringkali mereka terima adalah, oh, pokok tersebut bukan berada pada kawasan PBT. Oh, pokok tersebut bukan pokok PBT. Seperti yang terjadi di kawasan Flat Melawati. Dimaklumkan di bahawa pokok tersebut harus diselenggara oleh pihak MC, iaini badan pengurusan sedangkan flat tersebut tiada badan pengurusan setelah sekian lama. Jadi siapa yang nak bertanggungjawab ke atas kerugian yang terpaksa diterima.
Sidang yang dihormati sekalian, terlanjur saya sentuh berkenaan dengan MC, atau pun management corporation, atau pun lebih dikenali sebagai badan pengurusan di flat awam. Di Johor, selain Skudai saya percaya wujud flat awam yang langsung tak ada badan pengurusan atau pun ada badan pengurusan tetapi tidak aktif. Jadi Ahli Parlimen Pulai, iaini saudara Suhaizan Kayat, setiap kali di dalam mesyuarat JPPD pasti akan membangkitkan soalan berkenaan dengan isu flat yang sudah berpuluh tahun tiada badan pengurusan. Jadi bagaimana ini boleh berlaku? Jadi atas tanggungjawab siapa? Apa masalah yang akan berlaku bila kalau tidak ada badan pengurusan ini? Kita boleh lihat bila ketiadaan badan pengurusan flat, akhirnya akan membebankan keseluruhan penduduk. Contohnya, isu longkang, paip bocor, kebersihan yang akhirnya mereka akan berjumpa YB. YB, minta peruntukkan, baiki ini. YB, minta peruntukan baiki itu.Jadi, tanggungjawab itu kita pula terpaksa galas. Dan persoalan saya, berapa lama COB atau pun commissioner of building di PBT akan membiarkan sesuatu flat itu tidak mempunyai badan pengurusan? Flat yang tiada badan pengurusan tahun demi tahun semakin menua dan pelbagai masalah akan berakar umbi dan tiada mana-mana penduduk akan berani ambil tanggungjawab. Dan jawapan yang selalu kita terima daripada PBT adalah mereka akan membantu flat-flat ini. Tetapi banyak flat yang akhirnya akan terabai dan semakin tidak terurus. Dan saya sarankan satu jawatankuasa khas ditubuhkan merentas PBT untuk membincangkan bagaimana menyelesaikan masalah ketiadaan MC ini atau pun MC tidak aktif. Ambil rujukan daripada Majlis Bandaraya Pasir Gudang jika tidak, rakyat akan terus menjadi mangsa, terus tinggal di tempat yang tidak terurus dan juga bermasalah.
Datuk Speaker, seterusnya isu yang saya ingin akan sentuh ialah isu kecekapan, baik pulih dan penyelenggaraan fasiliti awam termasuk jalan, lampu jalan, lampu isyarat, sistem saliran dan pelbagai. Kenapa baik pulih atau penyelenggaraan fasiliti awam ini sangat perlu? Sebab kalau tidak dibaik pulih ianya akan mengancam keselamatan pengguna awam jika berlaku kerosakan. Izinkan saya mengadu sedikit. Saya bagi contoh, lampu jalan FT001 dari Skudai ke arah Senai tak menyala selama berbulan-bulan. Saya sendiri bawa isu ini pada JPPD pada bulan Mei. Dan jawapan yang saya terima pada bulan Jun adalah dalam proses lantikan kontraktor bagi pertukaran LED. Kita tunggu punya tunggu, punya tunggu sehinggalah bulan November kerja baru nak bermula. Datuk Speaker, bayangkan 6 bulan jalan itu gelap tak ada lampu. Jalan FT001 ini bukan jalan tepi rumah kita. Bukan jalan belakang rumah kita. Ianya adalah jalan federal yang paling lama di Malaysia. Tulang belakang kepada sistem pengangkutan di Johor Bahru. Belum saya kira lagi tempoh rosak sebelum saya bawa isu ini ke mesyuarat JPPD. Dan saya rasa ADUN Senai sendiri, sahabat saya kerap lalu di situ. Tahulah beliau keadaan gelap bagaimana di kawasan tersebut. Kadang-kadang malam-malam bila saya lalu kawasan tersebut memang kita jumpa memang banyak motorsikal atau pun kenderaan yang tak ada lampu, yang lampunya rosak dan ini akan mendatangkan kemalangan yang boleh datang pada bila-bila masa. Jadi, bila ada aduan sebegini, seminggu pun sebenarnya dah kira lama kerana apa? Ketiadaan lampu akan mengancam penunggang, pengguna jalan raya dan sebagai mantan Ahli Majlis, saya sendiri cukup paham prosedur yang perlu dijalankan seperti persiapan kertas kerja, lantikan kontraktor, kelulusan projek dan lain-lain lagi tetapi jika kita ingin meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan mencapai taraf negeri maju, proses-proses yang panjang ini
haruslah dipendekkan dan birokrasi harus dihapuskan, kerana apa? Kesejahteraan dan keselamatan rakyat ini harus diutamakan. Bukan sahaja reformasi dari segi proses membaik pulih fasiliti namun setiap projek sama ada memberikan impak kecil ataupun impak besar yang memanfaatkan komuniti kecil dilaksanakan oleh PBT, agensi kerajaan ataupun negeri harus disekalikan dengan laporan penyelenggaraan yang dilengkapi dengan kos-kos yang perlu ditanggung oleh pihak berkenaan setiap tahun supaya hayat fasiliti tersebut dapat dijaga dan duit kecemasan juga harus disediakan bagi mengatasi masalah yang datang secara tiba-tiba. Jangan sampai dah rosak baru kita terkial-kial nak cari mana nak cari ni peruntukan one-off. Nak tunggu peruntukan pun bukan sekejap, kalau cepat bajet tahun depan kita dapat, kalau lambat bertahun pun belum tentu dapat.
Sidang Dewan yang dikasihi, isu seterusnya yang saya nak bangkitkan adalah kesesakan di Jalan J4 bermula dari susur masuk ke Taman Tun Aminah. Skudai ini terletak di kawasan Greater JB tetapi isu banjir kilat kerap berlaku. Isu air jangan cakaplah, hampir setiap minggu ada sahaja masalah. Dalam masa berapa tahun lagi akan wujud Kem Skudai yang mana telah pun berjalan prosesnya. Kem tersebut juga akan menempatkan jentera-jentera dan ketika perjumpaan di tapak bersama dengan pihak ATM, pihak JKR pusat saya tanya, berapa lama lagi projek ini akan siap? Anggaran 4 tahun dimaklumkan.
Saya tanya lagi pada pihak JKR, maklum tak jalan ini sentiasa sesak? Beliau maklumkan kalau ikutkan jalan ini dah berada pada tahap puncak kesesakan. Untuk makluman semua, jalan tersebut juga menghubungkan Jalan Skudai dan jiran saya Kota Iskandar yang mana tak lama lagi akan wujud HSA 2 yang akan didirikan di Skudai. Jalan J4 juga merupakan jalan protokol ke Stadium SSI. Susur masuk dan keluar ke Kem adalah di hadapan Jalan J4 ini. Jadi, saya tak dapat bayangkan bagaimana kesesakan yang akan ditanggung oleh pengguna jalan raya kelak dan sekarang kalau kita lihat dari Taman Jaya sehingga masuk ke susur Tun Aminah pun jem sangat teruk. Ramai pengguna jalan raya merungut, mengadu dah bertahun-tahun menjadi masalah tetapi masih belum diselesaikan isu tersebut. Dan apabila projek-projek tersebut kelak siap, saya tak dapat bayangkan jika kita tidak memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah trafik yang semakin memuncak ini dan saya mencadangkan agar pelebaran jalan atau naik taraf susur persimpangan bertingkat secara flyover untuk menyuraikan kesesakan trafik dapat dilaksanakan dan projek ini secara tak langsung akan memberi impak pembangunan yang lebih pesat di sepanjang laluan di samping menjadi laluan utama sekitar dalam daerah Johor Bahru.
Datuk Speaker, antara perkara yang saya ingin sentuh adalah berkenaan dengan isu kesihatan mental. Hampir satu juta rakyat Malaysia menghadapi sakit mental ataupun NCD, non-communicable diseases, dengan izin, mengikut laporan NHMS dan terdapat pelbagai kajian di luar negara berkenaan kaitan antara pembangunan, persekitaran dan juga masalah kesihatan mental. Dan kajian mendapati ianya menyumbang secara tidak langsung. Kita tidak menolak pembangunan, kita juga tak menolak kemajuan tetapi kita harus sedar dalam pembangunan dan kemajuan itu akan wujud juga implikasi kepada masyarakat secara langsung ataupun secara tak langsung. Saya sebagai ADUN sangat menyambut baik dengan penubuhan Skuad Mind-X Komuniti sebagaimana tertera dalam Belanjawan seperti wujudnya kerjasama bersama pihak KKM dan juga LPPKN. Saya mencadangkan untuk mewujudkan sekali klinik bergerak seia sekata untuk di antara mungkin Hospital Permai, MENTARI ataupun klinik psikiatri di bawah kerajaan bagi melaksanakan program kesedaran mengenai kesihatan mental yang mana program ini sebenarnya dapat juga menghapuskan stigma rakyat terhadap masalah mental dan mungkin pengisian dalam program tersebut boleh menjelaskan bahawa stress, tekanan dan masalah terjejasnya kesihatan mental adalah masalah yang biasa dalam masyarakat dan tak salah untuk mereka ke hadapan untuk meminta bantuan. Masalah ini seperti demam juga dan masyarakat jangan malu. Terangkan apa itu masalah kesihatan mental, terangkan apa itu masalah yang menjejaskan kesihatan mental, terangkan kepada mereka senarai klinik yang mereka boleh hubungi, talian yang mereka boleh hubungi dan bagaimana kesihatan mental ini jika tak diuruskan dengan baik dapat mempengaruhi kehidupan. Kita boleh juga buat ini kerjasama bersama
dengan pihak NGO yang menawarkan kaunseling untuk membuat kaunseling percuma, buat self test di dalam program tersebut. Terangkan apa bahayanya masalah mental ini jika dibiarkan berlarutan. Kalau kita sakit kepala, kalau kita bengkak kaki, kita tahu mana nak dituju, kalau kita hadapi tekanan, kalau kita hadapi kecelaruan emosi dan fikiran, ke mana kita harus pergi? Masukkan program ini bersekalian dalam program klinik bergerak yang kita anjurkan.
Saya ingin bertanya kepada Dewan yang mulia ini, pada hari ini jujur pada diri anda sendiri, berapa ramai di dalam ini sebagai ADUN, sebagai pemimpin, sebagai ibu bapa, sebagai orang awam, sebagai Ketua Masyarakat, anda tahu ke mana untuk ditujukan mereka yang memerlukan bantuan yang menghadapi masalah mental ini. Ke mana mereka harus untuk mendapatkan pandangan? Ke mana mereka harus dapatkan sokongan? Ke mana mereka harus dapatkan rawatan? Ujian apa yang harus mereka lalui terlebih dahulu untuk memastikan mereka ini layak dirujuk ke klinik psikiatri ataupun hospital berhampiran? Adakah anda tahu, adakah anda jelas?
Saya terlibat banyak dengan kerja kebajikan agak lama. Bila di Skudai, apa yang meruntun hati saya adalah saya lihat ramai orang muda, masyarakat tak kira bangsa, tak kira agama hadapi tekanan, dalam 10 yang datang, 4 atau 5 orang pasti hadapi tekanan mental dan dapatkan rawatan psikiatri. Sampai tahap bila saya berborak dengan orang yang datang melihat ke mata mereka, lihat badan mereka, saya akan tanya, adakah puan ataupun tuan dapatkan rawatan psikiatri, dapat kaunseling, dapat tekanan? Biasanya diakhiri dengan tangisan. Ada yang tak tahu nak luahkan pada siapa, ada yang tak tahu bagaimana nak dapatkan rawatan. Saya rasa kalau staff klinik psikiatri HSA itu ada di sini, beliau sendiri boleh sahkan bahawa saya sendiri sebagai seorang ADUN bawa mereka yang perlu mendapatkan rawatan psikiatri, mereka yang tak berani, mereka yang takut ini untuk dapatkan rawatan di HSA.
Saya nak masyarakat belajar dan menerima, mencari jalan keluar bagi masalah yang menjejaskan kesihatan mental, kerana apa? Ada kadang-kadang mereka yang berpelajaran, kadang-kadang bila saya cerita, oh, orang ini ada masalah kesihatan mental, pada pemikiran mereka, ha! Ada kesihatan mental? Tak nampak macam ada masalah mental pun? Sebab apa? Pemikiran kita sebagai masyarakat ini orang ada hadapi masalah mental ini berpakaian compang-camping, rambut kotor, muka kotor, pergi makan sampah tetapi tak, bukan itu sebenarnya yang berlaku dan saya di DUN Skudai sendiri mengambil pendekatan ataupun inisiatif menyediakan coming room khas untuk mereka yang alami tekanan untuk berjumpa ahli psikologi yang berdaftar mengikut masa yang ditetapkan, kita bekerjasama dengan pihak NGO. Malahan mereka boleh membuat terapi kraf di sana di pejabat saya sebagai cara mengurangkan tekanan sambil ada teman untuk berbicara. Ada kes yang mana kita lihat sampai nak bunuh anak, telefon tengah malam, tak tahan, tertekan perasaan. Jadi, mereka ini dah menjadi sebahagian daripada keluarga Pejabat ADUN Skudai. Jadi, saya harap kita dapat merealisasikan dengan kemajuan ekonomi yang kita capai, kita tidak lupa juga tekanan-tekanan yang terpaksa dihadapi mereka di bawah sana.
Dan akhir sekali isu yang saya nak sentuh adalah berkenaan dengannya PBT yang mana kalau kita lihat pada tahun ini, Alhamdulillah banyak inisiatif yang diberikan oleh MAIJ, PUJB, PKPJ yang mana mereka membantu. Kita sebagai ADUN menyenaraikan nama dan kita mencari di lapangan mereka yang memerlukan bantuan dan kita bantu mereka untuk mendapatkan, bagi usahawan kita berikan mereka bantuan. Sebagai contoh mereka yang memerlukan rumah-rumah daif kita berikan bantuan dan saya juga ingin mencadangkan satu inisiatif kepada PBT juga untuk turut bekerjasama. Sebagai contoh, kiosk-kiosk daripada KPKT yang diterima, mungkin pihak PBT boleh bertanya kepada setiap ADUN kawasan, jika mungkin ADUN kawasan boleh membekalkan beberapa nama untuk membantu wanita-wanita ataupun mereka yang benar-benar susah ini untuk mencari sumber pendapatan supaya mereka boleh mengubah kehidupan mereka. Zaman berganti zaman yang mana teknologi sentiasa berkembang, kita tidak harus lagi memikirkan
bagaimana untuk memberi ikan saja kepada mereka di bawah, kita kena fikir bagaimana untuk menyediakan pancing supaya mereka ini boleh berdikari dan akhirnya membantu lebih ramai orang yang memerlukan di bawah sana.
Sekian sahaja Perbahasan saya pada hari ini dan saya minta maaf jika ada terlanjur kata dalam mengangkat isu bagi kepentingan mereka di bawah dan saya harap segala apa yang dilontarkan pada hari ini adalah untuk kebaikan dan juga manfaat kita bersama, saya harap ianya boleh dipertimbangkan dan boleh juga diulas pada, hari, pada oleh EXCO yang berkenaan dan kita harap sebagai pemimpin kawasan juga, saya berharap segala inisiatif yang baik dapat diberikan kepada masyarakat untuk manfaat kita juga sebagai masyarakat dan juga Bangsa Johor. Itu sahaja, sekian terima kasih.
Terima kasih Skudai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 12.55 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang.
Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Bismillahirrahmanirrahim, (Doa) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Segala puji-pujian bagi Allah, tuhan pemilik sekalian alam. Limpahan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW semoga kita semua mendapat syafaat dan rahmat kelak. Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh tak’zimnya, patik mewakili DUN Pasir Raja Merafak Sembah Menjunjung Kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah selamat ulang tahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik mewakili warga DUN Pasir Raja berdoa ke hadrat Illahi semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas Pembentangan Belanjawan Johor pada Khamis lalu yang bertemakan ‘Maju Johor Rakyat Sejahtera’ dan segala daya usaha Yang Amat Berhormat dalam memacu Johor menjadi negeri yang maju dan stabil. Kredit juga diberikan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan kepimpinan kerajaan Johor kerana berjaya mencipta rekod dengan penyampaian hasil RM2 bilion serta mempunyai kelebihan atas surplus bajet sebanyak RM5.12 juta.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih diucapkan kerana memberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk menyuarakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus serta turut mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan di Dewan yang mulia ini. Seperti Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal, Ayat 27 yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah SWT dan RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kamu sedangkan kamu mengetahui’. Mudah-mudahan apa yang dibahaskan ini dapat diterjemahkan dengan komitmen agar dapat memberi manfaat dan melakukan yang terbaik buat Johor dan khususnya buat warga DUN Pasir Raja. Dalam kota tumbuh meranti, pokok cermai di hujung muara; andai kata kita saling menghormati, negeri damai rakyat sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti mana Belanjawan 2025 yang dibentangkan Khamis lalu yang berpegang kepada 6 Teras Maju Johor dan merangkumi 244 inisiatif, Pasir Raja tertarik dengan inisiatif pertama iaitu keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan melalui cuti hujung minggu di negeri Johor yang akan ditukar dari Jumaat - Sabtu kepada Sabtu - Ahad bermula 1 Januari 2025 kerana Pasir Raja merupakan salah seorang yang membahaskan isu ini satu ketika dahulu. Terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta restu Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi pelaksanaan cuti ini. Kita maklum bahawa asas utama kepada perubahan yang hendak dibuat ini adalah kewajaran, kebaikan, positif dan untuk rakyat. Di samping itu, ia bertujuan dapat menyeragam masa operasi sektor ekonomi, ia juga dapat memberikan ruang masa yang lebih berkualiti bersama ahli-ahli keluarga tersayang dalam merancang aktiviti hujung minggu. Oleh kerana cuti swasta dan kerajaan termasuk persekolahan yang tidak seiring, maka berlaku kepincangan kepada kesesuaian waktu bersama keluarga bagi tujuan cuti liburan, hal ehwal kekeluargaan dan sebagainya, yang merupakan satu aspek penting dari sisi kesejahteraan rakyat.Natijahnya, rakyat terbeban dengan psikologikal kekeluargaan kerana ketidakseragaman waktu bekerja ini.
Sebagai kerajaan, wajarlah kita membantu rakyat menangani tekanan dan bebanan. Saya yakin tujuan idea ini dilaksanakan adalah bagi memastikan ekonomi dan institusi kekeluargaan sejahtera bersama. Semoga perubahan waktu ini dapat melonjak ekonomi, mempertingkatkan kesejahteraan institusi kekeluargaan, momentum baru produktiviti demi maju Johor dan rakyat sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pasir Raja juga tertarik dengan inisiatif ke sepuluh penyediaan kaunter bergerak untuk Pentadbiran Tanah Johor. Di dalam DUN Pasir Raja terdapat empat FELDA yang penerokanya, peneroka asalnya ramai yang telah tua dan ramai juga yang telah meninggal dunia. Terdapat rungutan daripada anak-anak peneroka ini yang ingin membuat pusaka kecil. Mereka memohon agar dipercepatkan proses pusaka kecil ini yang melibatkan gaji dan penempatan peneroka. Difahamkan bahawa kelewatan ini disebabkan oleh proses bicara kuasa yang mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan. Di dalam FELDA Pasir Raja sahaja permohonan untuk membuat pusaka kecil ini seramai 27 orang. Ini belum termasuk FELDA Bukit Besar, FELDA Bukit Ramon dan FELDA Sungai Sayong atau 23 FELDA lagi dalam daerah Kota Tinggi dan 73 FELDA dalam negeri Johor. Suka Pasir Raja mencadangkan jika bicara kuasa tertumpu kepada satu tempat sahaja iaitu di Pejabat Tanah Daerah, mohon alih arah proses bicara kuasa ini ke Pejabat Pusaka Kecil yang kurang perbicaraan bicara kuasa. Semoga perkara ini di dalam makluman dan tindakan JKPTG.
Yang Berhormat Datuk Speaker, umum mengetahui bahawa kerajaan begitu prihatin dalam memastikan rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat dan sejahtera. Umum juga mengetahui kerajaan sentiasa memberikan tumpuan khusus dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan yang baik kepada rakyat. Ianya selaras dengan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan ini. Perkhidmatan perubatan merupakan keperluan asas bagi semua masyarakat di dunia. Malangnya, golongan yang berpendapatan rendah di bandar sering menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan di klinik mahupun di hospital swasta. Mereka juga terpaksa berhadapan dengan masalah kesesakan dek lambakan pesakit di hospital kerajaan. Hal yang demikian ini, menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti. Jelaslah, bahawa wujudnya klinik-klinik desa menjadi salah satu jalan keluar kepada permasalahan-permasalahan yang ada. Kewujudan klinik-klinik desa membuktikan bahawa kerajaan begitu komited dan mengambil berat masalah kesihatan rakyat. Klinik-klinik desa ini juga mampu menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, selain dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan. Walaupun fasiliti yang disediakan ada kalanya sudah usang dan ada juga yang sudah tidak boleh digunakan. Oleh
yang demikian, Pasir Raja menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat EXCO Kesihatan, yang sentiasa turun padang dan melihat sendiri kedaifan klinik-klinik desa ini. Semoga klinik-klinik desa di DUN Pasir Raja termasuk dalam senarai 40 buah klinik desa yang akan dinaik taraf di tahun hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saban tahun beberapa kawasan di dalam DUN Pasir Raja pasti dilanda banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh. Walaupun pelbagai strategi pengurusan banjir dan persediaan awal bagi menghadapi banjir telah diterapkan. Dan, seperti seperti yang dibimbangkan, tahun ini bukan sahaja dilanda banjir malah tanah runtuh dan ribut turut berlaku di dalam DUN Pasir Raja. Untuk makluman, banjir yang kerap berlaku di dalam DUN Pasir Raja ini adalah di Kampung Seri Delima dan Kampung Seri Jaya. Untuk tahun ini sahaja, tiga kali kampung ini dilanda banjir. Pertemuan dengan penduduk kampung telah dibuat dan punca banjir ini telah dapat dikenal pasti. Pihak JPKK Kampung telah mencadangkan tiga cadangan penyelesaian jangka panjang. Yang pertama, membina sungai lencongan dari PULADA, yang menjadi punca banjir di sungai ke Sungai Johor. Kedua, membina kolam takungan di kawasan PULADA. Yang ketiga, pemindahan rumah mangsa ke tanah yang bersesuaian. Pasir Raja berharap agar adanya kolaborasi di antara kerajaan dengan pihak-pihak terbabit bagi mencari solusi bersama untuk menangani isu banjir, tanah runtuh, pembersihan, penjagaan dan pemantauan berkala sistem saliran dan perparitan di kawasan masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak zaman berzaman air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini. Manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang memerlukan air untuk meneruskan kelangsungan hidup. Air juga merupakan sumber minuman ini boleh didapati daripada aliran anak sungai dan diproses sebelum boleh digunakan. Selain itu, manusia juga menggunakan air untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya untuk memasak, mandi, bersuci dan sebagainya. Tanpa air, kehidupan manusia akan terjejas dan akan berlaku kekalutan untuk mendapatkan air.
Dalam teras keempat, kemudahan dan keperluan asas memperuntukkan sebanyak RM400,000.00 bagi menambah baik pengurusan kawasan tadahan bagi menjamin kelestarian sumber air. Oleh yang demikian, Pasir Raja memohon agar isu bekalan air yang sering kali terputus di Kampung Sungai Redan dapat diselesaikan segera kerana isu ini telah bertahun dihadapi oleh rakyat di kampung. Bila waktu puncak sahaja tak ada air, itu belum masuk lagi hari perayaan, Yang Berhormat Datuk Speaker. Berpuluh aduan telah dibuat dan pelbagai alasan telah diberikan, tetapi orang kampung masih menghadapi masalah yang sama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, maklum mengetahui Johor telah meluaskan kuasa di dalam arena sukan negara. Untuk mencapai kecemerlangan di dalam bidang sukan ini, bukanlah satu impian yang agak mudah dicapai. Oleh itu, satu perubahan perlu diambil dalam mencorakkan masa depan sukan di Johor. Pilihan sukan olahraga merupakan satu sukan berprestij dan menjadi tumpuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketandusan atlet olahraga berkualiti menjadi rangsangan untuk Pasir Raja mencadangkan pembinaan trek olahraga yang bermutu tinggi di padang asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab. Pasir Raja memohon agar padang asrama ini dinaik taraf sebagai mini stadium bagi memberi kemudahan sukan olahraga. Dengan adanya kemudahan ini boleh menampung kehendak-kehendak latihan dan menyediakan pasukan bukan sahaja untuk sekolah ini, malahan keseluruhan sekolah di dalam DUN Pasir Raja khasnya dan keseluruhan sekolah dalam daerah Kota Tinggi amnya. Di mana, setakat ini tiada satu pun kemudahan trek olahraga sintetik dalam Bandar Kota Tinggi yang mengandungi 12 buah sekolah menengah dan 29 buah sekolah rendah dan seterusnya berkeupayaan untuk mengelola kejohanan olahraga yang lebih sempurna. Pasir Raja pernah menyuarakan cadangan ini pada sidang belanjawan yang lepas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rata-rata kita tahu Jabatan Bomba bertanggungjawab untuk memadam kebakaran. Namun, tugas seorang anggota bomba bukan setakat di situ sahaja. Kes-kes lain seperti menangkap haiwan berbisa, membaiki paip saliran, menyelamatkan orang lemas, mengeluarkan mangsa tersepit akibat kemalangan dan sebagainya menjadi salah satu tugas yang mereka galas.
Untuk makluman, tapak dan Balai Bomba Kota Tinggi dibina pada tahun 1960 dan telah dibina semula pada tahun 2014 dan telah dirasmikan pada Disember 2015. Balai Bomba ini dikategorikan sebagai balai bomba kategori B. Jumlah anggota dan pegawai setelah penjajaran pada 2022 adalah 33 orang keseluruhan. Terdapat pejabat zon dua di aras dua bangunan balai dan mempunyai satu keluaran jentera. Balai Bomba Kota Tinggi adalah Balai Bomba Gred B, namun perjawatan sedia ada adalah sama dengan Balai Bomba Gred C. Pada masa ini, balai-balai bomba di zon dua terpaksa menanggung beban kerja yang tinggi kerana diarahkan untuk melaksanakan pelbagai tugasan sampingan mengikut bahagian-bahagian yang terdapat di ibu pejabat seperti aktiviti-aktiviti MBK, Kelab 3K, pelesenan, kempen kesedaran, eFEIS, ceramah, kadet bomba, kompaun, penyiasatan kebakaran, latihan dan lain-lain. Balai Bomba Kota Tinggi juga adalah balai bomba yang telah dijadikan sebagai Pusat Pemeriksaan Pemadam Api ia ini, eFEIS bagi daerah Kota Tinggi.
Pusat eFEIS ini telah mengganggu kekuatan keanggotaan menghadiri operasi. Ini telah menjejaskan tugasan hakiki ia ini kor bisnes iaitu operasi kebombaan serta mengganggu kekuatan keanggotaan menghadiri operasi kebombaan. Kedudukan Balai Bomba Kota Tinggi yang jauh daripada lain-lain balai memberi cabaran dan kesukaran semasa menghadiri atau menguruskan operasi kebombaan. Kawasan jagaan sempadan Bomba Kota Tinggi dengan satu jentera sahaja adalah PULADA, FELCRA Sungai Ara, FELDA Tenggaroh Selatan, Sedili Kecil, Petri Jaya, Kolej YPJ Kulai dan Simpang Teluk Sengat. Pernah di pertengahan tahun lepas berlaku kebakaran di Taman Kota Besar dan pada masa yang sama anggota bomba sedang menyelamatkan mangsa kemalangan di PULADA. Maka kebakaran tersebut tidak dapat dibantu oleh anggota bomba. Saya berada di tempat kejadian pada ketika itu Yang Berhormat Datuk Timbalan, Datuk Speaker. Mangsa kebakaran terpaksa melompat keluar daripada rumah kedai tingkat dua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, daripada pemerhatian dan tinjauan Pasir Raja beberapa kali ke Balai Bomba ini, suka Pasir Raja mencadangkan supaya satu, pihak atasan bomba mengkaji semula perjawatan sedia ada selari dengan bebanan kerja di kesemua peringkat agar pegawai bomba sedia ada di balai-balai bomba dapat memberi fokus kepada tugas utama ia ini kor bisnes operasi kebombaan. Yang kedua, mewujudkan perjawatan tambahan, second call, operasi di Balai Bomba Kota Tinggi agar masalah yang dihadapi semasa menghadiri atau menguruskan operasi kebombaan dapat diatasi. Dan yang ketiga, mewujudkan perjawatan untuk pusat eFEIS yang akan menguruskan pentadbiran dan rekod eFEIS di Balai Bomba agar pegawai bomba sedia ada dapat memberi fokus kepada tugas utama.
Buah bacang dimakan ungka, dilanda angin gugur sendiri, salah cincang tangan terluka salah memimpin hancur negeri. Besarlah batang sagu bertampin, bila dikerat mati hujungnya. Besarlah hutang jadi pemimpin, dunia akhirat akan ditanggungnya. Kita yang di dalam Dewan ini adalah wakil rakyat dan ada tanggungjawab untuk menyuarakan apa yang terbaik bagi rakyat. Semoga apa yang dibahaskan hari ini mendapat perhatian, pertimbangan dan pelaksanaan yang baik. Akhir kata, diharapkan kerajaan terbuka hati menerima segala cadangan yang diberikan agar ianya mampu menambahbaikan supaya rakyat kekal percaya kepada kerajaan negeri yang memerintah. Pasir Raja mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Pasir Raja. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati. 6 orang daripada DUN kawasan Mahkota. Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan lafaz bismillah pembuka bicara puji dan syukur terhadap Allah SWT atas limpah kurnia dan perkenanNya jua rakyat dan negeri Johor Darul Ta’zim yang bertuah ini terus dilimpahi rahmat dan kesejahteraan. Senggarang ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk bersama-sama berbahas mengenai Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pada minggu yang lepas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Senggarang meneruskan bicara dengan penuh hormat dan takzim izinkan Senggarang menzahirkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November baru-baru ini. Didoakan semoga Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa peroleh keafiatan dilimpahi kerahmatan dan keampunan Allah SWT serta dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk terus memayungi negeri Johor Darul Ta’zim yang tercinta ini. Ucapan tahniah dan syabas juga Senggarang ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor kerana telah berjaya menyediakan dan membentangkan satu belanjawan yang amat prihatin terhadap pembangunan negeri dan ianya dilihat dapat memberi manfaat kepada semua golongan tidak kira kaum latar belakang pendidikan mahu pun pendapatan termasuk penjawat awam sehinggalah rakyat yang kurang bernasib baik dan kurang upaya bakal menikmati Belanjawan 2025 ini, yang bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera yang ditunjangi 6 Teras dengan didokong oleh 244 Inisiatif. Demi kebajikan, kemakmuran, kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum terlebih bicara marilah kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah SWT, alhamdulillah kerana dengan izin-Nya kita dapat berkumpul di Dewan yang mulia ini untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi tunjang pembangunan negeri Johor yang kita cintai. Pada kesempatan ini izinkan Senggarang menyentuh beberapa isu penting yang berkait rapat dengan Pendidikan Islam, pembangunan insan dan kemajuan halal sebagai salah satu agenda utama negeri Johor Darul Ta’zim. Pertama Strategi Pendidikan Halal untuk anak generasi Johor sebagaimana yang kita sedia maklum, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) ini telah menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Halal sebagai langkah awal ke arah pembangunan modal insan dalam industri halal yang sedang berkembang pesat ini. Namun bagi memastikan kesinambungan ini adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memupuk kesedaran halal kepada masyarakat Johor dari usia yang muda dan awal.
Senggarang mencadangkan agar satu strategi pendidikan halal untuk generasi muda dirangka termasuk integrasi korikulum halal dalam subjek pendidikan Islam atau program khusus kesedaran halal di sekolah rendah dan menengah termasuk di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Program kesedaran halal seperti kempen, lawatan industri dan modul interaktif di peringkat sekolah, pengukuhan kerjasama dengan agensi halal seperti JAKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk mewujudkan eko sistem halal yang menyeluruh bermula dari institusi pendidikan. Bahawa generasi muda inilah yang akan menjadi penggerak utama industri halal di masa hadapan. Sekali gus menjadikan Johor sebagai peneraju dalam pembangunan halal pada peringkat nasional dan global.
Kedua, peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru-guru agama negeri Johor. Negeri Johor bertuah kerana mempunyai institusi seperti KUIJSI yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor. Institusi ini harus digunakan sepenuhnya untuk memperkukuh
profesionalisme guru-guru agama kita. Antara strategi yang boleh dilaksanakan termasuk latihan berkala dan kursus peningkatan kompentensi untuk guru agama termasuk yang berkaitan dengan pedagogi moden. Pembangunan modul dan modal pembelajaran terkini yang berasaskan teknologi bagi memudahkan guru agama mengajar generasi muda hari ini. Program pertukaran tenaga pengajar antara KUIJSI dan institusi luar untuk memberi pendedahan lebih meluas kepada para guru. Langkah-langkah seperti ini bukan sahaja akan meningkatkan mutu pendidikan agama di negeri ini tetapi juga mengukuhkan peranan guru agama sebagai pendidik dan pembimbing generasi muda dan generasi akan datang.
Ketiga, memahami dan menghayati fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran Al-Asy’ariah dan Matudiriyah. Negeri Johor sememangnya berpegang kepada fahamah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Al-Asy’ariah dan Matudiriyah. Namun pemahaman ini perlu diperkukuh dalam kalangan guru-guru agama dan guru-guru takmir agar mereka dapat menyampaikan kefahaman ini dengan betul, jelas dan mantap pada segenap lapisan masyarakat. Sebagai langkah praktikal saya mencadangkan latihan intensif dan bengkel berkaitan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Al-Asy’ariah dan Matudiriyah melalui kerjasama dengan Institusi Seperti Jabatan Mufti Negeri Johor, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah UTHM, KUIJSI dan lain-lain institusi yang mampu memberikan latihan. Pembangunan bahan rujukan standard seperti modul pengajaran yang sama dan sekata serta buku panduan yang mudah difahami dan berstruktur. Penggunaan teknologi seperti aplikasi atau platform digital untuk menyebarkan ilmu dan mengadakan sesi soal jawab interaktif seperti di Youtube dan sebagainya yang bersesuaian. Perkara ini sangat penting untuk memastikan masyarakat mendapat pemahaman yang benar dan dari sumber yang benar sekali gus menangani ancaman penyebaran fahaman yang tidak selari dengan pegangan negeri Johor.
Keempat, sokongan dan sumbangan kerajaan terhadap KUIJSI. Sebagai institusi milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor, KUIJSI memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan berkualiti tinggi untuk negeri Johor. Justeru sokongan kerajaan kepada KUIJSI harus diteruskan dan perkasakan untuk tahun 2025 dan seterusnya Senggarang mencadangkan beberapa bentuk sokongan seperti berikut :
1. Pemberian atau peningkatan dana untuk pembangunan infrastruktur dan teknologi di Kampus KUIJSI.
2. Sokongan secara pinjaman atau biasiswa bagi pelajar-pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan pembangunan insan yang juga merupakan bidang asas kritikal yang perlu diberikan perhatian.
3. Kerjasama strategik dengan universiti-universiti lain di dalam dan luar negara untuk memperluaskan program yang ditawarkan bukan sahaja di negara Timur Tengah tapi juga ke negara Eropah sebagai contoh.
Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan sistem pendidikan Islam yang kukuh yang bukan saja berorientasikan akademik tetapi juga nilai-nilai keinsanan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, segala usaha yang kita lakukan ini adalah demi memastikan negeri Johor terus maju dan makmur dalam segala aspek. Termasuk pendidikan, pembangunan halal dan kesedaran agama, dengan sokongan semua pihak saya yakin Johor mampu mencapai misinya sebagai negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi tapi juga kaya dengan nilai-nilai keislaman. Firman Allah SWT. (Bacaan Ayat Al-Quran) yang bermaksud “Dan katakanlah wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” Al-Taha, Ayat 114. Ayat ini menekankan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas untuk membangunkan insan yang beriman, kompeten dan mampu memimpin
generasi akan datang. Ia juga menggalakkan umat Islam untuk terus belajar dan berusaha meningkatkan ilmu bagi kesejahteraan dunia dan di akhirat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah, Program Semarak Subuh yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor telah berjaya dan mendapat tempat di hati rakyat Johor. Berteraskan kejayaan tersebut, maka lahirlah inisiatif ketiga puluh satu iaitu sebanyak RM2.8 juta diperuntukkan bagi meneruskan Program Semarak Subuh yang akan dilaksanakan dua kali seminggu. Tahniah Senggarang ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan juga kepada semua yang terlibat khususnya yang berada dalam Dewan yang mulia ini. Senggarang turut merakamkan ucapan terima kasih kerana Yang Ámat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor telah mengilhamkan serta mewujudkan Mesyuarat Tindakan DUN melalui inisiatif ketiga puluh tujuh teras pertama bagi mewujudkan urus tadbir kerajaan dengan baik. Ia merupakan satu platform untuk ADUN dalam usaha menyelesaikan sesuatu isu kecil di kawasan dengan cepat dan berkesan. Semoga isu-isu berskala kecil yang dibangkitkan oleh rakyat melalui ketua-ketua kampung dan ADUN, Penghulu dapat dilihat kerajaan serius dalam mendengar rintihan dan suara rakyat diperingkat akar umbi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jika Yang Berhormat Kukup mengulas isu ketua kampung, Senggarang juga terpanggil untuk turut sama mengulas berkenaan isu tersebut. Sebagaimana yang kita sedia maklum, jawatan tersebut dilantik setiap dua tahun sekali. Namun dikesempatan ini Senggarang mencadangkan agar jawatan tersebut dilanjutkan perlantikannya setiap 5 tahun sekali. Tambahan pula pada ketika ini kebanyakan kampung telah memiliki RM100,000.00. Melalui pelaksanaan Program Sejati Komuniti Madani. Ini merupakan inisiatif baharu kerajaan Madani yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dan memberi kemudahan kepada JPKK mentadbir kampung dengan lebih mudah melalui hasil dan keuntungan yang mereka perolehi melalui program tersebut. Hal ini bagi mengatasi masalah perselisihan faham sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Kukup jika projek yang mereka mula laksanakan ini bertukar kepimpinan. Senggarang percaya banyak masalah akan timbul. Dan ia akan mengkucar kacirkan pentadbiran kampung. Jadi, berilah mereka masa dan ruang mengendalikan projek-projek yang mereka usahakan agar ia berjaya dan menepati matlamat misi Kerajaan Persekutuan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi saya dengar Yang Berhormat EXCO Luar Bandar Dato’ Zahari nyatakan pasal pertandingan Malaysia Madani. Anugerah Desa Madani (ADM) yang dapat tempat pertama Kampung Permatang Duku di Pontian, tempat kedua Kampung Kesang Tasek di Tangkak, ketiga ialah Kampung Parit Kemang di Batu Pahat. Saya suka nak cadangkan agar hadiah yang diterima oleh pemenang-pemenang ini ditambah RM10,000.00 untuk setiap tempat. Tempat pertama tambah RM10,000.00, tempat kedua tambah RM10,000.00, tempat ketiga juga tambah RM10,000.00 berikutan pertandingan peringkat negeri itu tempat pertama menerima RM30,000.00, tempat kedua menerima RM20,000.00 dan tempat ketiga menerima RM10,000.00. Kalau Kerajaan Negeri tambah RM10,000.00, Kerajaan Negeri hanya akan menambah RM30,000.00 sahaja. Sebab saya tanya dengan kampung saya, Kampung Parit Kemang secara kebetulan ialah kampung saya. (Dewan bertepuk). Mereka menghabiskan RM18,000.00 untuk menyertai pertandingan tersebut. Mereka dapat hadiah RM10,000.00, jadi kalau dapat RM20,000.00 Yang Berhormat Datuk Speaker, dia macam berbaloi sikit. Jadi saya mencadangkan agar kalau boleh Yang Berhormat Dato’ EXCO Luar Bandar mengambil perhatian terhadap perkara ini. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan Belanjawan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor pada 21 November yang lalu sejumlah RM6.35 juta diperuntukkan bagi pembangunan Command Centre dan RM2 juta untuk pemasangan dan penyelenggaraan CCTV pintar di kawasan PBT serta RM1 juta untuk penganjuran Johor Smart City Forum 2025. Senggarang yakin segala peruntukan ini adalah bukti keseriusan kerajaan Johor
dalam menjayakan agenda Smart City. Senggarang merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yang Berhormat EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas penarafan Majlis Perbandaran Batu Pahat sebagai Smart City Early Adopter di bawah penarafan Bandar Pintar Malaysia 2024. Senggarang difahamkan anugerah ini membolehkan Majlis Perbandaran Batu Pahat menerima geran pembangunan bandar pintar bernilai RM400,000.00 untuk menjadikan Batu Pahat sebagai salah satu peneraju bandar pintar di negeri Johor. Senggarang mohon Yang Berhormat EXCO memberikan penjelasan dan penerangan dalam sesi penggulungan berkenaan agenda bandar pintar di kawasan Batu Pahat khususnya dan negeri Johor amnya yang difahamkan telah diwujudkan blueprint bandar pintar 2030. Dimanakah kedudukan negeri Johor ini dalam pembangunan bandar pintar. Ini kerana Senggarang melihat agenda bandar pintar ini bukanlah agenda kecil apatah lagi kita sedang rancak dengan pembangunan JS-SEZ pastinya pembangunan bandar pintar akan memberi kesan positif kepada pelabur yang berminat datang melabur di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, meski pun sudah beberapa kali diutarakan namun Senggarang terus ingin mengutarakan buat kali ini dan sangat berharap agar Kerajaan Negeri melalui Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menambah peruntukan pada pihak JPS bagi kerja-kerja membina dan menyelenggara jambatan di kampung-kampung. Ini berikutan terdapat beberapa jambatan di kawasan Senggarang khususnya yang telah rosak dan mendap. Kita juga berhadapan dengan masalah tebing parit yang runtuh akibat daripada pengorek, kerja-kerja pembersihan dan pengorekan, pelebaran parit-parit di kampung, tebing-tebing parit banyak yang runtuh dan kita akan menghadapi belanja yang besar untuk kerja kerja membaik pulih ini, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Selain itu, Senggarang juga berharap agar jambatan ke Parit Kadir Darat perlu dinaik taraf penambahan serta pelebaran disebabkan jambatan yang sedia ada terlalu kecil sedangkan jambatan berkenaan merupakan jambatan utama bagi menghubungkan ke beberapa buah kampung dan Jalan Parit Hamid-Parit Botak, J009. Jambatan utama di pekan Senggarang juga sangat perlu dilebarkan agar ia memberi keselesaan pada para pengguna jalan raya di kawasan pekan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas keprihatinan terhadap pelajar-pelajar di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dengan memberikan inisiatif tiga puluh empat iaitu sejumlah RM4.7 juta diperuntukkan bagi misi 300 guru baharu di sekolah berkenaan, di bawah Teras Pertama, Tadbir Urus Kerajaan. Walau bagaimanapun, Senggarang amat berharap agar kekosongan jawatan guru di beberapa gred dapat diisi segera memandangkan keperluannya, memandangkan ianya sangat diperlukan. Menurut data, Gred 29 kita ada sebanyak 2,965 telah diisi, sebanyak 2,655 dan masih kosong 310. Gred 32, kita ada 154 jawatan, 140 telah diisi dan perlu diisi lagi 14 kekosongan. Gred 34, kita ada sebanyak 72, 47 telah diisi dan perlu diisi lagi sebanyak 25 kekosongan. Gred 38 Yang Berhormat Datuk Speaker, di SAKNJ ini ada satu sahaja dan satu itu telah diiisi. Senggarang mencadangkan agar Gred 38 ini ditambah menjadi sekurang-kurangnya 5 orang, 5 jawatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang juga berasa bersyukur di atas adanya inisiatif tiga puluh lapan dan empat puluh di bawah teras ketiga iaitu jaringan keselamatan sosial. Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana telah memperuntukkan sebanyak RM36.15 juta bagi pembangunan Rumah Kasih Johor dengan penyediaan 328 unit baharu dan RM14.15 juta bagi diperuntukkan bagi Program Baik Pulih Rumah yang memanfaatkan 795 keluarga miskin dan miskin tegar. Agensi yang terlibat adalah seperti PKPJ, MAINJ, Waqaf Annur dan KKDW. Walau bagaimanapun, Senggarang berharap agar syarat-syarat bagi mendapatkan bantuan rumah berkenaan tidak kiralah sama ada bina baharu atau baik pulih diberi kelonggaran. Ini disebabkan kebanyakan
mereka memang tidak berkemampuan seandainya mereka mampu sudah pasti mereka tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
Ada di antara mereka yang sudah tinggal di rumah yang sedia ada berpuluh tahun lamanya. Namun menghadapi masalah dari segi geran. Mereka terpaksa mendapatkan persetujuan semua penama di atas geran berkenaan sehinggakan ada di antara mereka terpaksa bergaduh untuk membaik pulih rumah mereka berikutan ada penama khususnya waris penama yang tidak mengizinkan, sedangkan dulu proses pembinaan awal bersama dengan mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Jadi, kita mohon MAINJ untuk memudahkan pengurusan di atas geran supaya tidak ada lagi kena tandatangan-tandatangan mereka-mereka yang ada nama yang duduknya jauh-jauh daripada kawasan, khususnya di kawasan saya di Batu Pahat. Dia mengambil masa untuk mendapatkan kelulusan tersebut dan akhirnya proses banyak kali, tak dapat dilaksanakan pembinaan dan membaik pulih rumah tersebut. Senggarang mengambil serius masalah ini memandangkan masalah ini banyak berlaku khususnya di kawasan Senggarang
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah Senggarang ucapkan kepada beberapa DUN yang terlibat menikmati inisiatiff keempat puluh empat sebanyak RM4 juta bagi menaiktaraf fasiliti di klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Gelang Patah, Klinik Kesihatan Majidee dan Klinik Kesihatan Tebrau serta Klinik Kesihatan Kulai. Di Senggarang terima kasih banyak kepada YB EXCO kerana ktia telah membaik pulih dan membina baharu beberapa buah klinik, kita tidak ada masalah klinik ini tetapi kita ada masalah kerosakan penghawa dingin di Klinik Kesihatan Senggarang. Dalam masa yang sama, kita juga berhadapan dengan masalah kerosakan ambulans di Klinik Kesihatan Senggarang dan mengambil masa sehingga 4 bulan baru nak dapat diselesaikan. Jadi, dengan adanya pengumuman Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar RM2 juta telah diperuntukkan bagi 4 buah ambulans kita harap dapat ditempat kan satu daripadanya di Senggarang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap DUN sudah pasti ada isu besar yang kerap menghantui Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian begitu juga di Senggarang, antara isu besar yang perlu diselesaikan ialah pembinaan Masjid Raudhatul Jannah, Senggarang. Sehubungan dengan itu, apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar membentangkan Belanjawan 2025 di bawah teras keempat kemudahan dan keperluan asas melalui inisiatif ketiga puluh iaitu sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk masjid dan surau, Senggarang berharap agar peruntukan sebanyak RM5 juta bolehlah diberikan kepada Senggarang untuk pembinaan masjid baharu di pekan Senggarang iaitu Masjid Raudhatul Jannah. Selain pembinaan Masjid Raudahatul Jannah, Senggarang juga melalu inisiatif tersebut mohon agar dapat membina baharu dua buah surau iaitu Surau Jalan Benteng Parit Ihlam, Parit Makmur dan juga Surau As-Syakirin di Kampung Sungai Kalung Getah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi isu besar yang terdapat di Senggarang ialah berkaitan dengan JAKOA. Terdapat sekumpulan warga Orang Asli di Kampung Bukit Batu, Senggarang. Maklum balas yang diterima daripada pihak JPN Batu Pahat, status kewarganegaraan Orang Asli yang tinggal di Kampung Bukit Batu, Senggarang adalah bukan warganegara, tiada pengesahan dan perakuan keturunan Orang Asli Semenanjung mengikut Akta Orang Asli 1954, Akta 134 daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), keturunan Melayu pula tidak selari mengikut Perkara 160, Perlembagaan Persekutuan. Manakala pihak JAKOA Daerah tidak boleh membuat pengesahan warganegara kerana ianya bukan di bawah bidang kuasa mereka, ada di antara mereka yang tidak mempunyai pengenalan diri dan gagal memberi kerjasama apabila memberi keterangan berkaitan asal usul mereka yang dikatakan berasal dari sebuah perkampungan di negeri Pahang.
Untuk pengesahan sebagai warganegara ataupun tidak, JAKOA tidak pernah diberi kuasa untuk memberikan seseorang taraf kewarganegaraan dan perkara ini perlulah dirujuk kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Jumlah keseluruhan Orang Asli yang disahkan
tersebut pada awalnya seramai 109 orang, hanya 13 orang sahaja yang mempunyai kad pengenalan, sebahagian besar mereka telah sedia menganut agama Islam bermula 24 haribulan 3 tahun 2021 seramai 69 orang dewasa telah pun mengucap dua kalimah syahadah dan pada hari ini, ada 6 lagi mereka yang sedang mengandung.
Sila pendekkan.
Masalah ini adalah masalah besar Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya mohon pihak yang berwajib untuk membantu menyelesaikan masalah warganegara ini, mereka tidak boleh ditangkap sebab tidak ada dokumen. Jadi, pihak-pihak yang berwajib kita ambil serius perkara ini, ada 100 orang, jadi apa jadi nak kata PATI, mereka tidak ada negeri asal nak pulang balik. So, saya berharap sangat agar perkara ini dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih diucap kepada Yang Berhormat Benut kerana turut menyuarakan berkenaan Barter Trade Port ini dapat diselesaikan juga di Batu Pahat dengan kadar yang agak segeralah untuk mendapatkan hasil yang lebih baik di Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu pembinaan jalan alternatif laluan sementara untuk penduduk Kampung Tanjung Labuh, Mukim Minyak Beku sehingga ke hari ini masih tiada penyelesaian, peruntukan sebanyak RM800,000.00 bagi membina jalan alternatif tersebut telah terbatal dan peruntukan tersebut telah digunakan ke projek kritikal yang lain. Hal ini telah dimaklumkan oleh KKDW Negeri Johor melalui surat bertarikh 29 Oktober 2024. Oleh yang demikian, saya mohon Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian yang serius dan membantu dalam menyelesaikan msalah tersebut bagi keselesaan pengguna dan penduduk kampung, ini projek apa namanya, airport UTHM.
Untuk akhirnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang juga ingin memberikan penghormatan dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana telah menunjukkan kepintaran idea, iltizam dan kesungguhan yang luar biasa dalam memajukan ekonomi negeri Johor. Hal ini telah diterjemahkan apabila kerajaan Johor mengunjurkan Belanjawan Johor 2025 sebanyak RM1.99 bilion. Iaitu Belanjawan berlebihan berjumlah RM5.12 juta, peningkatan 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024. Senggarang turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah meluluskan peruntukan-peruntukan di Senggarang, untuk manfaat penduduk Senggarang
Untuk akhirnya, Senggarang ucap terima kasih kerana diberi kesempatan untuk turut sama berbahas Belanjawan Negeri Johor 2025. Sejarah Johor masyhur terbilang, telah termaktub berabad dikarang, selesai sudah perbahasan Senggarang, moga mendapat penjelasan yang terang. Tangkas berlawan si perwira, gagah sungguh bijaksana, Maju Johor rakyat sejahtera, ayuh semua jayakan bersama. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Senggarang mohon menyokong.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Senggarang. Jemput Bukit Batu.
Yang Berhormat Datuk Timbalan, Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang dihormat sekalian, salam sejahtara, salam Malaysia Madani dan salam Maju Johor. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan atas peluang untuk berbicara dalam Dewan yang mulia ini. Sebagai wakil rakyat DUN Bukit Batu, saya hadir dengan membawa harapan dan suara rakyat yang saya wakili. Sidang kali ini merupakan platform yang amat penting untuk kita membincangkan isu-isu yang terlibat, kesejahteraan dan pembangunan negeri Johor dengan fokus kepada keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Hadirin yang saya dihormati, memperkenalkan gaji premium untuk pekerja berkemahiran tinggi merupakan langkah strategi yang boleh menjadikan Johor sebagai hab ekonomi berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Inisiatif ini bukan sahaja menarik pelabur luar tetapi juga memberikan peluang kepada rakyat tempatan untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui pekerjaan yang lebih baik, namun perlaksanaan dasar ini perlu jelas dan menyeluruh supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak. Sebagai contoh, di negara jiran seperti Singapura, dasar gaji premium untuk pekerja berkemahiran tinggi disokong oleh insentif kepada majikan yang melabur dalam latihan dan pembangunan pekerja. Melalui program seperti skills future, pekerja diberikan akses kepada latihan berstruktur dan subsidi untuk meningkatkan kemahiran mereka. Ini bukan sahaja memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan pasaran tetapi juga mendorong majikan untuk terus melabur dalam modal insan.
Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada pendekatan ini untuk mengukuhkan ekonomi negeri Johor. Terutamanya dalam sektor-sektor strategi. Di Johor, sektor teknologi dan pembuatan sering dikaitkan dengan inisiatif ini, terutamanya dengan kehadiran syarikat besar seperti Daison dan juga VS Industry. Walau bagaimanapun, gaji premium tidak seharusnya terhad kepada sektor tertentu sahaja, sektor pertanian moden misalnya mempunyai potensi besar untuk mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi melalui penggunaan teknologi seperti precision farming dengan izin, dan automasi. Menurut laporan media baru-baru ini, usaha memperkenalkan pertanian pintar di negeri-negeri seperti Selangor telah berjaya menarik minat belia dan meningkatkan produktiviti hasil tani. Johor juga boleh mengadaptasi pendekatan yang sama untuk memperluaskan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor ini. Selain itu, kerjasama dengan agensi seperti HRDF, Human Resource Development Fund adalah penting untuk menyediakan program latihan dan pensijilan yang relevan sebagai contoh HRDF boleh memperkenalkan kursus berkaitan automasi kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan rantaian bekalan bagi melengkapkan tenaga kerja Johor dengan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran.
Kerajaan Negeri juga boleh menyediakan insentif cukai kepada syarikat yang melatih pekerja mereka dalam kemahiran baharu sekaligus menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam tenaga kerja tempatan. Namun kejayaan pelaksanaan gaji premium memerlukan pemahaman mendalam di peringkat masyarakat. Rakyat perlu diberikan penerangan jelas mengenai sektor-sektor yang terlibat, kriteria kelayakan dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan peluang ini. Contohnya, program kesedaran dan bengkel yang dianjurkan di pusat-pusat komuniti boleh membantu rakyat memahami dasar ini dan mempersiapkan diri untuk memenuhi keperluan industri.
Dengan rangka yang terancang dan pelaksanaan yang komprehensif, inisiatif gaji premium ini mampu menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk pelabur dan pekerja berkualiti, pada masa yang sama ia akan mewujudkan ekosistem ekonomi yang mampan di mana rakyat Johor dapat menikmati pekerjaan bergaji tinggi dan peluang pembangunan kerjaya yang lebih baik.
Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Johor Selatan Zon Ekonomi Khas JS-SEZ merupakan inisiatif strategik yang berpotensi besar untuk menjadikan Johor sebagai hab ekonomi utama di rantau ini. Dengan tumpuan kepada sektor seperti teknologi, logistik dan pelancongan, JS-SEZ dapat menarik pelabur antarabangsa mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan ekonomi negeri. Namun pelaksanaan projek berskala besar ini seperti ini juga membawa cabaran yang perlu ditangani dengan berhati-hati terutamanya dalam memastikan ia tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Salah satu isu utama adalah kenaikan harga hartanah dan kos sara hidup di kawasan pembangunan besar seperti JS-SEZ. Sebagai contoh, laporan media menunjukkan bahawa pembangunan di Iskandar Malaysia yang terletak berhampiran kawasan JS-SEZ telah menyebabkan harga rumah melambung sehingga ramai penduduk tempatan tidak mampu memiliki rumah di kawasan tersebut. Fenomena ini juga berlaku di Singapura, di mana
pembangunan di kawasan perindustrian menyebabkan kenaikan mendadak harga hartanah sehingga memerlukan campur tangan kerajaan untuk memperkenalkan Skim Tawaran Harga Rumah Mampu Milik.
Bagi memastikan JS-SEZ tidak membawa kesan yang sama, saya ingin mencadangkan beberapa langkah strategik. Pertama, Kerajaan Negeri perlu memperkenalkan dasar kawalan harga rumah mampu milik di kawasan JS-SEZ. Dasar ini boleh memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pembangunan perumahan di kawasan tersebut diperuntukkan untuk rumah mampu milik. Selain itu, insentif seperti pelepasan cukai boleh diberikan kepada pemaju yang bersetuju membina rumah kos sederhana atau rendah. Langkah ini akan memastikan pembangunan tidak hanya mengutamakan keuntungan tetapi turut mengambil kira keperluan penduduk tempatan.
Kedua, bagi mengurangkan beban kos sara hidup kerajaan boleh memperkenalkan program subsidi seperti penawaran penjimatan pengangkutan awam yang lebih murah dan cekap di kawasan JS-SEZ. Sebagai contoh, model yang digunakan oleh Hong Kong dengan memperkenalkan laluan bas subsidi kepada pekerja di kawasan perindustrian telah berjaya meringankan beban kos pengangkutan rakyatnya. Johor boleh melaksanakan pendekatan serupa dengan memperluaskan laluan bas dan rel kepada kawasan JS-SEZ. Sekaligus, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Selain itu, insentif kepada pelabur juga perlu diselaraskan dengan matlamat pembangunan mesra rakyat. Sebagai contoh, pelabur yang membangunkan projek infrastruktur seperti sekolah, hospital dan pusat komuniti di kawasan JS-SEZ perlu diberi keutamaan dan insentif tambahan. Pendekatan ini dapat dilihat di Projek Zon Ekonomi Khas di Shenzen, China di mana kerajaan tempatan memberikan galakan kepada syarikat yang untuk melabur dalam kemudahan sosial dan memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Akhir sekali, satu badan pemantauan khas perlu diwujudkan untuk memastikan pelaksanaan JS-SEZ tidak membawa kesan negatif kepada komuniti setempat. Badan ini boleh memainkan peranan penting dalam memantau harga hartanah bernilai impak sosial dan ekonomi serta memastikan setiap projek pembangunan selaras dengan kepentingan rakyat. Dengan pendekatan holistik ini, JS-SEZ bukan sahaja dapat memacu ekonomi Johor ke tahap yang lebih tinggi tetapi juga memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini adalah langkah penting untuk mencapai pembangunan yang mampan dan inklusif di negeri Johor.
Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker, saya juga ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini kepada suara dan keluhan pemandu-pemandu teksi yang beroperasi di negeri Johor. Golongan ini telah lama menjadi nadi kepada sistem pengangkutan awam di negeri kita. Terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan bandar dan juga luar bandar. Tiga tahun yang lalu, Kerajaan Negeri Johor telah memberikan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500.00 kepada pemandu-pemandu teksi sebagai tanda keprihatian terhadap kebajikan mereka. Namun, sejak itu tidak ada lagi peruntukan yang diteruskan dalam Belanjawan Negeri Johor untuk menyokong golongan ini. Keadaan ini amat membimbangkan terutamanya apabila melihat negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang yang terus menunjukkan komitmen kepada kebajikan pemandu teksi mereka dengan memberi bantuan one-off sebanyak RM600.00.
Pemandu teksi menghadapi berbagai cabaran termasuk persaingan dengan perkhidmatan e-hailing, peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan dan kesan ekonomi akibat pandemik. Mereka memerlukan sokongan kerajaan untuk terus bertahan dan memainkan peranan mereka sebagai sebahagian daripada sistem pengangkutan awam negeri. Oleh itu, saya menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk mempertimbangkan semula pemberian bantuan kewangan kepada pemandu-pemandu teksi ini. Bantuan ini bukan sahaja akan
meringankan beban kewangan mereka tetapi juga menunjukkan penghargaan terhadap peranan mereka dalam memudahkan pergerakan rakyat Johor. Saya juga mencadangkan agar satu skim sokongan yang terpanjang dirancang termasuk insentif cukai jalan, subsidi bahan api atau program latihan untuk membantu mereka bersaing dalam industri pengangkutan yang semakin mencabar. Semoga perkara ini mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan dan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Johor yang akan datang. Saya percaya dengan sokongan yang tepat, pemandu-pemandu teksi kita dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Johor.
Komuniti India di Johor, memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya negeri ini. Namun, mereka sering menghadapi cabaran dalam mendapatkan tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti kebudayaan sosial dan keagamaan. Situasi ini berlaku di banyak kawasan termasuk di DUN Bukit Batu di mana komuniti India terpaksa menyewa premis komersial dengan kos yang tinggi untuk menganjurkan majlis perkahwinan, program kebajikan dan perayaan tradisional seperti Deepavali dan Buddha. Sebagai contoh, di kawasan Taman Puteri, komuniti India terpaksa bergantung kepada dewan serba guna awam sering penuh ditempah menyebabkan banyak aktiviti kebudayaan tidak dapat dijalankan pada waktu yang sesuai.
Isu ini juga berlaku di daerah Kulai, di mana laporan media menunjukkan kekurangan ruang khusus telah menghalang pertubuhan aktiviti komuniti dan melemahkan usaha untuk memelihara warisan budaya mereka. Kerajaan Negeri Johor perlu mengambil langkah proaktif dengan membina dewan komuniti khusus untuk kaum India di kawasan strategik. Pembinaan ini bukan sekadar menyediakan ruang fizikal tetapi juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan setiap kaum. Dewan ini boleh menjadi pusat kegiatan pelbagai fungsi termasuk kelas muzik tradisional, tarian latihan bahasa Tamil dan aktiviti keagamaan. Ia juga boleh menjadi tempat untuk komuniti India menganjurkan program kebajikan seperti pemberian bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sokongan pendidikan.
Negeri-negeri lain telah menunjukkan kejayaan dalam inisiatif serupa. Sebagai contoh, di Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan dana khas untuk membina Dewan Komuniti India di kawasan berpopulasi tinggi seperti Klang. Dewan ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti budaya tetapi juga berfungsi sebagai pusat kaunseling dan pertemuan untuk membincangkan isu-isu komuniti. Pendekatan ini telah meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat India. Dalam konteks Johor, pembinaan dewan ini perlu berdasarkan nisbah populasi dan keperluan setempat. Contohnya, kawasan seperti Kulai, Bukit Batu dan Johor Bahru yang mempunyai populasi komuniti India yang signifikan harus diberi keutamaan. Lokasi strategik yang mudah diakses dengan kemudahan asas seperti parking, bekalan elektrik dan air harus menjadi faktor utama dalam perancangan.
Bagi memastikan pembinaan dewan komuniti ini berdaya maju, kerajaan negeri boleh melibatkan sektor swasta melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR). Syarikat-syarikat yang beroperasi di Johor terutamanya dalam sektor perindustrian boleh memainkan peranan penting dalam menyokong projek ini melalui sumbangan dana atau bahan binaan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga boleh memperuntukkan dana khas melalui belanjawan negeri untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan segera. Saya minta YB EXCO Tenggaroh dapat ambil maklumlah. Kalau boleh tolong di kawasan saya di prioritykan.
Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang dihormati sekalian. Sebagai penutup kepada perbahasan saya, izinkan saya menegaskan bahawa setiap isu yang dibangkitkan hari ini mencerminkan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Isu pembinaan Dewan Komuniti Kaum India serta cadangan bantuan kewangan kepada pemandu-pemandu teksi di negeri Johor. Semua melibatkan pembangunan infrastruktur
tetapi juga memberi impak langsung kepada kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Begitu juga dengan cadangan gaji premium untuk pekerja berkemahiran tinggi dan pengurusan Ekonomi Khas Johor Selatan juga merupakan elemen penting untuk memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga ingin menyatakan bahawa Belanjawan Johor 2025 adalah langkah yang tepat dalam membangun Johor ke arah kemakmuran yang lebih tinggi. Dengan penekanan kepada ekonomi yang mampan, kesejahteraan sosial yang adil dan infrastruktur yang berkualiti, saya yakin Johor akan terus menjadi sebuah negeri yang unggul di Malaysia. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Batu. Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita baharu sahaja menikmati makan tengah hari, untuk mengoptimumkan penggunaan masa waktu rehat ditiadakan. Namun, kudapan tetap disediakan. Dijemput, Yang Berhormat Kota Lama.
Johor Lama. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam demi Johor Lama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Pertamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas kurniaan kesihatan pada hari ini dan dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama di dalam Dewan yang mulia ini bagi sesi Perbahasan demi rakyat dan negeri Johor yang kita sayangi ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Johor Lama ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan Johor 2025 dengan bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera”. Sebanyak 244 inisiatif telah ditawarkan melalui 6 teras utama Maju Johor bagi menggerakkan ekonomi negeri Johor yang kita cintai ini. Di kota sejarah menabur budi, tidak mengira pangkat dan usia, pembangunan Johor Lama harapan kami, demi keharmonian rakyat jelata.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor telah mencatatkan pencapaian yang cemerlang dan telah merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion bagi tahun ini yang merupakan rekod tertinggi dicatat dalam sejarah. Kerajaan Negeri Johor juga membentangkan belanjawan lebihan berjumlah RM5.1 juta, peningkatan 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024. Semua ini harus dikembalikan semula kepada rakyat Bangsa Johor agar mereka juga turut dapat merasai hasil kerajaan negeri Johor dan berkongsi bersama dengan seisi keluarga mereka. Johor Lama ingin menyatakan di sini bahawa rakyat di luar bandar dan kawasan pedalaman juga patut diraikan dengan menyediakan fasiliti dan infrastruktur yang sempurna buat mereka. Bak kata pepatah; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Mereka juga patut disediakan dengan kemudahan akses jalan yang baik, dengan lampu jalan yang mencukupi serta akses internet yang bagus agar mereka tidak merasa jauh ketinggalan dengan penduduk yang menetap di kawasan bandar. Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak. Sesungguhnya mereka memerlukan perhatian yang penting kerana ia memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, besar kesannya jika kita memandang remeh hari ini dengan kekurangan infrastruktur dan fasiliti yang lengkap buat mereka, peningkatan migrasi orang-orang muda ke kawasan bandar akan meningkat. Mereka lebih berminat untuk berhijrah ke kawasan bandar untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga. Maka, ini menyebabkan kawasan luar bandar akan mengalami kekurangan tenaga kerja dan mengalami penurunan populasi. Kebiasaannya Datuk Speaker, bila dah berusia, bila dah pencen barulah nak balik ke kampung untuk mencari ketenangan dan healing, ayat orang muda sekarang. Tetapi anak-anak mereka masih terus kekal menetap di kawasan bandar. Sering kali kita dengar, jika masuk kawasan kampung ramai yang merungut tiada internetlah, jalan rosaklah, air kotorlah dan macam-macam lagi. Justeru itu, Johor Lama mencadangkan agar Kerajaan Negeri Johor memberi fokus kepada
keperluan infrastruktur asas di kawasan luar bandar seperti memberikan peruntukan dana bagi membina dan memperbaiki jalan, jambatan, penambahan lampu-lampur jalan bagi keselamatan penduduk.
Kemudahan rangkaian internet yang bagus, kemudahan pendidikan, kesihatan yang lengkap, membina fasiliti seperti dewan terbuka serta gelanggang sukan bagi kegunaan penduduk kampung. Bagi kawasan DUN Johor Lama seperti Kampung Sinaran Harapan, Kampung Sungai Gantang, Kampung Sungai Sembilang dan Kampung Panchor yang berada di persisiran Sungai Johor mengambil jarak sejauh 30 kilometer untuk keluar ke bandar bagi mendapatkan keperluan harian serta kemudahan yang lain. Bila tiba malam hari, kawasan masuk ke kampung gelap dan hanya bertemankan cahaya bulan. Saya nak ke masjid bagi Program Semarak Subuh pun gelap tapi tak apalah, saya tak pandai merungut Tuan Speaker. Kesimpulannya, kawasan luar bandar dan pedalaman memerlukan perhatian segera untuk memastikan kesaksamaan dalam pembangunan dan saya yakin ia akan membawa kesan yang positif kepada kesejahteraan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin mengalu-alukan pelaburan di kawasan Parlimen Kota Tinggi khususnya dalam kawasan DUN Johor Lama. Ini kerana Johor Lama merupakan kawasan yang berpotensi besar dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perladangan, perikanan, akuakultur serta pendidikan dan penyelidikan. Ia juga akan menjadikan DUN Johor Lama sebagai pusat ekonomi yang dinamik jika sumbernya dimanfaatkan dengan baik dan strategik. Selain terkenal dengan sektor pelancongan, kawasan DUN Johor Lama juga dilihat berpotensi untuk dijadikan kawasan hab pendidikan. Jika dilihat pusat pendidikan yang ada di kawasan bandar Kota Tinggi, hanyalah ada Kolej Komuniti dan Giat MARA sahaja, selebihnya berada di kawasan Parlimen Pengerang. Sedangkan di kawasan Johor Lama juga masih ada lagi tanah-tanah yang belum diterokai dan boleh dinaikkan sebagai hab pendidikan Kota Tinggi. Sebagai contoh di kawasan jalan Kota Tinggi-Pengerang. Lokasi Kota Tinggi yang strategik serta kurang sesak juga menjadikannya tempat yang sesuai untuk dibangunkan institut pendidikan tinggi seperti kampus cawangan universiti tempatan, kolej vokasional, politeknik, pusat pendidikan dan macam-macam lagi. Bak kata pepatah Tuan Speaker, di mana ada gula, disitulah ada semut. Jadi, pasti ia mampu untuk menarik pelajar dan tenaga pakar dari Johor Bahru mahupun Singapura.
Dengan adanya penubuhan pusat-pusat pendidikan dalam sektor yang berkaitan, maka ia dapat menyokong keperluan tenaga kerja tempatan dan serantau. Dan sudah pasti hasil limpahan ekonomi juga akan kembali semula kepada rakyat. Tegak rumah kerana tiang, tegak negeri kerana rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada ucapan bahas Johor Lama di sidang Dewan yang lepas, Johor Lama ada memanjangkan suara rakyat mengenai tapak Projek Rumah Generasi Kedua yang meliputi berkaitan hal infrastruktur di kawasan perumahan tersebut. Sehingga kita masalah masih lagi tidak selesai. Seperti menunggu buah yang tidak gugur. Rakyat masih dibelenggu dengan masalah infra di kawasan tapak Projek Rumah Generasi Kedua. Sebagai contoh, isu bekalan air di kawasan perumahan generasi kedua di Gugusan FELDA Lok Heng yang masih tidak menjumpai titik noktah. Ramai generasi kedua di Gugusan FELDA Lok Heng yang mula membina rumah sama ada dengan cara membuat sendiri mahupun bina rumah melalui Skim Rumah Mesra Rakyat (SPNB). Saya dimaklumkan baru-baru ini sebanyak 32 buah rumah melalui Skim Rumah Mesra Rakyat (SPNB) telah diluluskan dan sebanyak 32 buah rumah lagi akan dibina di kawasan yang tidak mempunyai punca air. Dengan tiadanya punca air, bagaimana mahu duduk dan tinggal bersama keluarga di rumah tersebut? Kemudahan air sangat-sangat penting dan merupakan kemudahan asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Jadi permudahkanlah urusan mereka yang mahukan kediaman sendiri dan infrastruktur yang lengkap dan selesa. Johor Lama mohon agar isu ini mendapat perhatian pihak Kerajaan Negeri dan memberikan
keutamaan berkaitan kemudahan air kepada semua pemilik tapak Projek Rumah Generasi Kedua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu lambakan warga asing mahupun warga Rohingya atau Myanmar dilihat semakin kritikal di kawasan daerah Kota Tinggi. Saya yakin masalah ini bukan hanya di kawasan Johor Lama sahaja malah ada juga di kawasan-kawasan Yang Berhormat-Yang Berhormat yang lain. Banyak aduan yang kita terima dari orang tempatan berkenaan dengan gelagat mereka di sini. Kita hanya risaukan keselamatan orang tempatan dan anak-anak kecil di luar sana yang terdedah dengan sikap dan kelakuan yang tidak bermoral mereka. Untuk rekod, menurut artikel Berita RTM bertarikh 24 Oktober 2024, yang bertajuk “6 Sekeluarga Etnik Rohingya Berdepan 17 Pertuduhan Jenayah.” Jenayah yang dilakukan adalah pecah rumah dan menyimpan barang curi di sekitar Kota Tinggi dan Mersing. Ini jelas menunjukkan bahawa mereka ini semakin selesa dan berani dengan melakukan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Namun, disini Johor Lama juga ingin menekankan tidak semua warga asing itu terlibat dengan jenayah.
Selain itu lambakan warga asing juga menyebabkan kawasan sekitar menjadi tidak bersih dan tidak selamat untuk orang tempatan. Sebagai contoh di kawasan DUN Johor Lama di sekitar Taman Aman, Taman Mawai, Kota Kechil dan Kampung Makam telah menjadi penempatan warga mereka. Kawasan sekitar telah dipenuhi dengan sampah sarap serta peralatan terbengkalai yang telah mencacatkan pemandangan di sekitar kawasan tersebut. Maklumat yang diperolehi daripada Ketua Etnik Rohingya di Kota Tinggi, seramai 1,300 pelarian Etnik Rohingya yang mempunyai kad pelarian yang sah dan berada dalam kawasan Kota Tinggi. Namun, jumlah yang sebenar tidak dapat ditentukan kerana hampir setiap hari ada sahaja pendatang baru yang sampai dan masuk secara tidak sah. Jadi, besarlah harapan Johor Lama agar pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan isu lambakan warga asing ini dengan memastikan pelarian Rohingya mendapat perlindungan yang sah tapi dalam masa yang sama tidak membebankan warga tempatan. Pihak yang berwajib juga boleh menyediakan penempatan sementara yang teratur dengan kemudahan asas bagi pelarian agar mereka tidak perlu tinggal dalam keadaan yang boleh mencetuskan masalah sosial di kalangan masyarakat tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru tadi YB Pasir Raja sebut berkaitan permohonan litar olahraga untuk pelajar-pelajar dalam kawasan Daerah Kota Tinggi. Kebetulan Johor Lama juga bangkitkan isu yang sama. Johor Lama pun nak sebut perkara yang sama ingin memohon daripada Kerajaan Negeri Johor untuk mewujudkan fasiliti sebuah litar olahraga bagi kegunaan para pelajar dalam aktiviti sukan di kawasan DUN Johor Lama. Ini kerana kebanyakan pelajar di bandar Kota Tinggi akan ke bandar Penawar sejauh hampir 48 kilometer daripada Bandar Kota Tinggi untuk ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan menggunapakai litar olahraga bagi kegunaan aktiviti latihan mereka. Dengan jarak yang begitu jauh, risiko keselamatan pelajar juga terdedah di atas jalan raya. Pelbagai insiden yang kita tidak jangka juga boleh berlaku. Besarlah harapan saya dan anak-anak Johor Lama agar Kerajaan Negeri Johor dapat merealisasikan impian mereka untuk mewujudkan litar olahraga bagi kegunaan anak-anak DUN Johor Lama khususnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong dan menyambut baik isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang semalam, berkenaan isu pemandu mabuk serta cadangan menghadkan lesen menjual minuman keras terutamanya kepada premis hiburan mahupun kedai serbaneka. Isu ini seperti di anggap remeh sedangkan pemandu mabuk menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa orang awam yang mungkin seorang ibu, seorang bapa kepada anak-anak kecil yang memerlukan kasih sayang ibu bapa mereka. Jika kita lihat, nak dapatkan minuman keras sekarang ni senang je, 24 jam ada jual. Penjualan minuman keras secara terbuka di kedai serbaneka seperti 7Eleven, KK Mart dan sebagainya juga salah satu punca kepada isu ini. Dah terhantuk baru nak terngadah, tak kanlah kita nak biarkan saja. Jadi, dengan menghadkan lesen menjual minuman keras kepada premis tertentu sahaja dan bukan secara terbuka
mungkin dapat membantu dan mengurangkan isu pemandu mabuk dan seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya.
Saya nak balas juga pantun Pulai Sebatang semalam pasal orang mabuk ni. Jadi Yang Berhormat yang lain boleh dengarlah mana tahu nak balas juga hari esok kan? Burung merbuk melayang rendah, gajah di Sedeli mengamuk terasa resah, kalau nak mabuk tu mabuk je lah, tapi janganlah buat orang lain marah. (Dewan bertepuk). Gajah di Sedili, tempat lain tak banyak gajah Yang Berhormat. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Johor Lama mengakhiri perbahasan ini, besarlah harapan Johor Lama agar segala isu yang telah dibangkitkan dan dibahaskan di Dewan yang mulia ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri Johor. Segala usaha kita lakukan bersama ini adalah demi kesejahteraan Bangsa Johor dan negeri Johor yang kita cintai ini. Istana Johor bangunannya indah, Raja yang hebat membawa bahtera, negeri Johor maju dan bertuah, rakyat gembira kekal sejahtera. Hening pagi di kaki banjaran, berkabus sarat dingin mengikat, selesai sudah hujah perbahasan, bertunjang hasrat kehendak rakyat. (Dewan bertepuk). Sekian, dengan ini Johor Lama mohon menyokong. Salam demi Johor Lama.
Terima kasih Johor Lama. Dijemput Yang Berhormat Kemelah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Muafakat Johor, salam Segamat selamat, salam Maju Johor dan salam kasih Kemelah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang dan ruang kepada Kemelah untuk mengambil bahagian dalam perbahasan bagi Persidangan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 hari ini. Terbit matahari di ufuk timur, pagi yang cerah membawa sinar, Kemelah membawa harapan yang subur, mendukung Belanjawan Johor dengan makmur. Sebelum lidah ini berbicara dengan lebih panjang, izinkan Kemelah merafak sembah ucapan setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucapan selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda pada 20 November yang lalu. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja sekalian, dilanjutkan usia agar dapat terus menaungi Bangsa Johor yang kita sayangi ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, maka mulakan ucapan perbahasan pada kali ini, kita ada frasa yang lebih baik untuk Kemelah tuturkan di Dewan yang mulia ini selain ucapan tahniah yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Negeri Johor selaku pemimpin tertinggi dan tadbir negeri Johor yang telah berusaha keras dan telah kita dengarkan melalui pembentangan Belanjawan Johor pada Khamis yang lalu.
Kemelah menyokong belanjawan itu dan tahniah Kemelah ucapkan atas pencapaian terbaik ini dengan jumlah hasil yang melebih RM2 bilion. Kemelah beranggapan ini satu belanjawan yang baik untuk semua Bangsa Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, maka mendukung hasrat yang sama dalam kejayaan besar yang dibawa oleh pemimpin kita ini, Kemelah ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini terhadap beberapa perkara yang cukup penting dan perlu diutamakan oleh kita semua selaku pemimpin yang diberi amanah dan tanggungjawab membawa harapan besar kepada penduduk di kawasan Kemelah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap tentang banjir, ini ada jua masalah baharu setelah bencana ini hadir secara mengejut. Dalam DUN Kemelah, isu bekalan air terputus telah berlarutan sepanjang beberapa tahun, tambahan pula bila banjir mengejut, makin menjadikan apabila terdapat beberapa saluran air utama yang telah musnah dek air yang deras waktu itu. Antara kawasan yang terlibat adalah FELDA Kemelah, Kampung Ketam, Kampung Pogoh, Kampung Chudan dan beberapa buah perkampungan rangkaian di situ. Kemelah juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih atas prihatin Ranhill SAJ dan
saya yakin mereka tidak putus-putus berusaha bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa terlibat.
Meskipun begitu sebagai Wakil Rakyat, Kemelah juga telah mengambil pelbagai inisiatif awal selain penghantaran air bersih bagi kegunaan harian untuk minuman dan masakan terdahulu sementera menanti bekalan air tersebut dihubungkan sebaik setelah rosak dibadai air besar. Kita semua maklum bekalan air bersih adalah penting bagi setiap orang dan kejadian ini boleh ditafsirkan sebagai kejadian luar jangka meskipun pernah dilaporkan sudah terlalu lama berlaku namun masih lagi ditakuk lama. Bagi permasalahan bekalan air sebelum banjir pula, saya pernah dimaklumkan sebelum ini peruntukan telah disediakan untuk permasalahan ini, namun ia masih lagi belum dapat diselesaikan. Kemelah berharap setelah insiden bekalan air terputus sehingga mencecah 13 hari di kampung pedalaman pada banjir waktu itu, ianya dapat disegerakan agar tidak berulang kembali di masa akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mengambil ruang yang selama ini saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula peruntukan baharu yang telah bersesuaian setelah mengambil kira dari segi aspek pengurusan kerja-kerja dalam kawasan FELDA. Dalam bencana banjir ketika itu, terdapat sebuah jambatan dalam FELDA Kemelah, Jambatan Temengau yang telah terputus dan perkara ini menyebabkan peneroka tidak dapat membawa keluar hasil pertanian mereka sekaligus memberi kesan kepada pendapatan peneroka. Untuk makluman Ahli Dewan yang ada, sehingga hari ini jambatan tersebut masih tidak dapat diperbaiki kerana menelan kos hampir RM3 juta. Oleh yang demikian, Kemelah berharap sekiranya terdapat kelulusan seperti baik pulih jambatan di FELDA Kemelah ini dapat disegerakan dan mengambil kira aspek kegunaan harian penduduk dalam FELDA tersebut.
Moratorium mangsa-mangsa banjir. Sebagai ADUN Kemelah saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana begitu pantas telah berusaha keras memastikan mereka yang terkesan dengan bencana banjir menerima moratorium daripada pelbagai agensi berkaitan yang tidak lain dan tidak bukan demi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus terjamin seperti mana yang telah diberikan pada 2023. Ini salah satu inisiatif yang terbaik untuk semua golongan dan saya percaya kita amat memerlukan pengecualian terutama dalam keadaan sebegini.
Dalam usaha murni ini ingin Kemelah mengetengahkan tentang penternak-penternak dalam DUN Kemelah. Memandangan DUN ini terletak di luar bandar, kebanyakan penduduk kampung menyara hidup melalui pertanian, nelayan dan menternak haiwan. Akibat banjir besar ini, bukan sahaja tanaman musnah akan tetapi ternakan mereka juga tidak ketinggal turut sama musnah dibawa arus deras yang muncul secara mendadak. Jadi, ini mengakibatkan penternak haiwan mengalami kerugian besar dan mereka amat memerlukan sokongan awal untuk memulakan semula usaha ternakan itu. Oleh itu, Kemelah berharap Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang begitu peka tentang kebajikan Bangsa Johor untuk meneliti bantuan-bantuan agar mangsa mangsa banjir ini tidak terlalu terbeban atas kehilangan punca pendapatan mereka sebelum ini.
Pengurangan ambulans Hospital Segamat. Yang Berhormat Datuk Speaker, bercakap fasiliti perubatan ini tidak pernah mencapai kesempunaan secara keseluruhan kerana faktor kesihatan perkara utama yang akan dilalui oleh setiap insan tidak kira golongan B40 mahupun golongan T20. Tahun lepas, Hospital Segamat telah menerima sebuah bangunan tambahan yang terletak bersebelahan Hospital Segamat sedia ada, bangunan baharu ini dilengkapi dengan pelbagai mesin yang lebih canggih dan semestinya Kemelah mengimpikan sevis yang lebih efisien dari sebelum ini dapat juga disediakan selari dengan peningkatan perkhidmatan yang disediakan di Hospital Segamat.
Pada hemat saya, andainya kita telah memiliki bangunan tambahan baharu, maka seharusnya kita telah menemui jalan keluar untuk membantu menyelesaikan lebih banyak masalah perubatan seperti kekurangan doktor pakar, jururawat serta ambulans. Saya difahamkan setakat ini Hospital Segamat hanya mempunyai 7 buah ambulans sahaja, 6 boleh digunakan satu dalam proses pelupusan dan terpaksa berkhidmat bukan sahaja kepada penduduk Segamat bahkan pesakit dari Gemas, Bahau, FELDA Keratong, FELDA Selancar hingga ke Muadzam Shah. Semestinya lebih ramai pesakit yang memerlukan perubatan di Hospital Segamat dan jika hanya membekalkan enam buah ini, semestinya tidak mencukupi bagi melancarkan urusan perubatan dalam tempoh segera. Kemelah berharap kemudahan fasiliti kesihatan seperti ambulans dapat diutamakan juga kerana ramai pesakit mengadu terpaksa menunggu dari pagi hingga petang semata-mata menanti ambulans kosong untuk dipindahkan ke hospital Johor Bahru.
Perkara ini perlu dipandang serius dan seharusnya ianya tidak berulang tambahan pula bangunan baharu Hospital Segamat ini telah mula beroperasi. Jika dipandang dari sudut katil pesakit, sukar untuk saya nyatakan kerana di Hospital Segamat kita hanya mempunyai 314 buah katil sahaja dan tidak mampu menampung kapasiti pesakit yang terlalu ramai. Perkara ini bukan baharu kerana penduduk Segamat sendiri maklum di daerah Segamat hanya terdapat sebuah hospital kerajaan dan kita baru sahaja menerima sebuah hospital swasta yang masih dalam pembinaan. Pesakit yang hadir rata-rata berada luar, dalam Segamat dengan pelbagai penyakit untuk dirujuk kepada doktor bertugas, manakala penempatan pesakit hanya bergantung kepada sebuah hospital yang membekalkan 314 katil pesakit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berkata tentang Hospital Segamat ni Kemelah proses penambahan doktor pakar dapat dipercepatkan memandangkan kita kekurangan doktor pakar di Segamat. Antara kekurangan doktor radiologi, pediatric, pakar rehabilitasi, pakar chemical patologist dan pakar bedah umum. Sekiranya doktor-doktor pakar yang dinyatakan dapat memberi khidmat di Hospital Segamat, sudah semestinya banyak permasalahan dapat diselesaikan dan tidak perlu lagi pesakit dihantar ke HSA mahupun HSI untuk mendapatkan rawatan dari doktor pakar di sana. Jika diambil kira dari kelebihan bangunan tambahan baharu yang telah siap, ianya amat bersesuaian dengan perkhidmatan yang lebih meluas dan menyeluruh.
Kemelah juga mohon perhatian Kerajaan Negeri bagi meneliti semula farmasi yang sedia ada dalam Hospital Segamat kelengkapan di situ agak kurang keselesaan dengan tempat yang agak kecil serta pesakit terpaksa menunggu di luar farmasi hingga duduk di bahagian lantai sementara menanti angka giliran dipanggil untuk mengambil ubat-ubatan. Kemelah juga faham seterusnya, semestinya penghuni di sana berada dalam keadaan pelbagai sakit dan seharusnya kita berusaha memberi perkhidmatan yang paling baik dan memudahkan mereka. Selain ini, Kemelah berharap layanan diberi di setiap farmasi dapat ditingkatkan lagi bagi memudahkan urusan semua pesakit.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Kemelah masih tidak lagi mempunyai rumah PPR yang mana kita lihat ianya cukup membantu bagi golongan yang kurang kemampuan untuk memiliki rumah. Kemelah berada di luar bandar dan masih ramai penduduk tidak berpeluang untuk membeli rumah yang dijual oleh pihak swasta memandangkan harga yang terlalu tinggi ataupun tidak mendapat kelulusan untuk pinjaman perumahan dan sebagainya. Oleh yang demikian, Kemelah berpendapat Rumah Kasih Johor perlu dibanyakkan lagi atau membina Rumah Kasih Johor dalam skala yang besar di atas tanah rizab kerajaan bagi membantu golongan tersebut. Dengan kewujudan Rumah Kasih Johor yang banyak menerima bantuan bulanan yang tergolong dalam miskin tegar juga boleh terkeluar dari kepompong ini dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apakah pelan tindakan khas yang diambil untuk perumahan terbengkalai di Segamat Inland Port, geran tanpa rumah, dia ada geran, tak ada rumah, harap isu ini dapat perhatian Dewan ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Rumah Perlindungan, Rumah Transit Kasih Johor, saya cadangkanlah. Kemelah di luar bandar, ini dilihat agak ketinggalan dari segi prasarana terutamanya yang melibatkan perumahan. Memandangkan kawasan Kemelah lebih banyak perkampungan dari taman-taman, perkara ini agak membimbangkan terutamanya apabila berlakunya musibah di luar jangka. Contoh yang sering terjadi apabila berlakunya kebakaran atau mangsa yang diusir keluar oleh keluar rumah atau suami akibat beberapa masalah antara mereka. Kemelah mencadangkan agar dibina sebuah rumah perlindungan bagi mangsa-mangsa yang dinyatakan tadi supaya nasib mangsa ini juga terbela. Ini belum termasuk mangsa keganasan rumah tangga yang tidak ada tempat berteduh setelah bertengkar dan mangsa-mangsa yang lain. Dengan adanya rumah perlindungan ini sedikit sebanyak kita telah meringankan beban mereka sekaligus memperlihatkan prihatin tinggi dari Kerajaan Negeri dalam menangangi setiap isu-isu yang berbangkit
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan dalam Jualan Kasih Johor, dengan ekonomi yang turun naik sekarang, jualan seperti ini amat dinanti-nantikan oleh penduduk setempat terutama DUN luar bandar seperti Kemelah. Sehingga hari ini saya bersyukur, Kemelah telah menerima tiga kali Jualan Kasih Johor dalam setahun, dan apalah kiranya jika dapat diluaskan lagi Jualan Kasih Johor ini dengan perlaksanaan lebih banyak lagi. Paling kurang dua kali sebulan. Kemelah melihat Jualan Kasih Johor amat bernilai bagi penduduk DUN Kemelah kerana harga yang ditawarkan cukup-cukup memberangsangkan untuk pembeli dan ternyata setiap kali jualan ini dibuka, pasti penjual akan pulang dengan senyuman kerana barang niaga mereka habis dijual sepenuhnya. Pusat Autism Kasih Johor, ini pun cadangan saya sahaja, Kemelah ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan kanak-kanak autism. Mengikut statistik, seramai 60,217 kanak-kanak autism telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setakat 30 Jun 2024 ia menunjukkan peningkatan sebanyak 663 peratus dari 6,991 pada tahun 2013. Angka ini semakin bertambah saban tahun yang sekali gus menunjukkan kanak-kanak autism semakin ramai. Jumlah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun pula yang disahkan autism juga meningkat kepada 1,681 kes pada 2023 berbanding pada 183 kes pada tahun 2013. Melihat angka yang semakin bertambah ini, Kemelah mencadangkan sebuah pusat autism ditubuhkan bagi menempatkan pelajar-pelajar autism. Meski pun kita sedar telah disediakan beberapa buah PDK dalam setiap daerah, namun pelajar autism ini juga memerlukan pelajaran yang lebih khusus serta terperinci kerana mereka tidak mampu untuk terus berdaya saing bersama pelajar yang lain. Kemelah juga yakin dengan kekuatan kerajaan negeri sekarang yang sentiasa menitik berat tentang kesejahteraan Bangsa Johor, perkara ini boleh dipertimbangkan demi kanak-kanak autism.
Penarafan bandar pintar. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Segamat dan YB EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas penarafan Majlis Perbandaran Segamat sebagai Smart City Early Adopter di bawah penarafan bandar pintar Malaysia 2024 baru-baru ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah ingin mengambil kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini untuk sekali lagi mengucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang acap kali tidak pernah lekang dengan idea-idea baru serta sentiasa mementingkan rakyat di negeri Johor ini. Ini perlu diakui apabila Johor berjaya menggapai pencapaian terbaik yang sungguh memberangsangkan dari tahun ke tahun hingga hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan sekalian, melihat helai demi helai antologi pembangunan yang berlipat-lipat kini tentulah seluruh rakyat Johor terutamanya penduduk Segamat sangat
menghargainya. Kemelah sungguh yakin walau daerah Segamat letaknya di ceruk, tidak akan berada di pinggiran lagi. Ini kerana Kemelah melihat kesungguhan Kerajaan Negeri merapatkan jurang pembangunan sambil menolok ke tepi apa-apa jua cabaran yang menghalang walaupun pancaroba yang cuba-cuba menduga. Senada dengan ungkapan ini, Kemelah mohon mengharap agar apa yang diketengahkan awal-awal tadi hingga akhir kiranya jua mendapatkan perhatian dan pertimbangan kerana pokok pangkalnya kerajaan sememangnya komited membina nasib rakyat mendengar suara hati setiap rakyat. Belayar jauh ke pulau seberang, dibadai ombak tetap disusuri; sebelum malam tiba datang, Kemelah mohon mengundur diri. Sekian terima kasih.
Terima kasih Kemelah. Dijemput Yang Berhormat Bekok.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Awal bicara ini, patik merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Bagi meneruskan ucapan menyokong pembentangan Belanjawan kerajaan negeri Johor bagi tahun 2025, terlebih dahulu Bekok mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2025 bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’ yang Bekok sifatkan sebagai Belanjawan yang memenuhi aspirasi rakyat pelbagai agama, bangsa dan pelbagai taraf kehidupan di dalam negeri Johor. Bekok juga mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah membentangkan Belanjawan Negeri Johor Tahun 2025 yang sangat menyeluruh kepada semua lapisan rakyat di dalam negeri Johor. Dengan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Johor, Bekok yakin dan percaya bahawa kerajaan negeri Johor akan terus merekodkan pencapaian cemerlang hasil negeri Johor agar melebihi sasaran daripada tahun lepas dengan beberapa perancangan pembangunan yang telah dirancang yang melibatkan 143 projek baharu dan 433 sambungan projek sedia ada yang menelan belanja RM4.8 bilion.
Bekok juga melahirkan rasa bangga kepada kerajaan negeri Johor dalam melaksanakan usaha memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur di dalam negeri Johor ini. Di samping itu juga kerajaan negeri Johor di bawah kempimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor berjaya melaksanakan insentif-insentif kebajikan kepada rakyat negeri Johor dengan aktiviti program membasmikan kemiskinan tegar, bantuan membina rumah baru dan membaik pulih rumah dan lain-lain program kebajikan khas untuk rakyat negeri Johor. Bekok penuh yakin dan percaya dengan tadbir urus yang sangat baik oleh kerajaan negeri Johor, mencakupi pelbagai sektor di dalam kerajaan negeri Johor untuk dinikmati oleh rakyat dari pelbagai lapisan peringkat rakyat Johor akan memberikan impak pertumbuhan ekonomi dan hasil negeri Johor akan terus meningkat untuk kesejahteraan rakyat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan, dikesempatan ini izinkan Bekok untuk menyampaikan beberapa perkara yang berkaitan negeri Johor dan DUN Bekok di dalam Dewan yang mulia ini. Pertamanya Bekok ingin menarik perhatian sidang Dewan yang mulia ini berkaitan dengan projek JS-SEZ (Johor-Singapore Special Economic Zone) yang sekarang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama kerajaan pusat dan Singapura. Sebagaimana yang sedia maklum bahawa projek ETS Utara-Selatan sekarang berada di fasa terakhir pelaksanaannya yang melibatkan kawasan saya di Labis dan Bekok, bila sesuatu kawasan itu mempunyai sistem pengangkutan yang baik, maka ianya akan memberikan kesan pulangan ekonomi kepada masyarakat sekitarnya. Labis dan Bekok pula mempunyak kawasan pelancongan yang asli seperti Kolam Air Panas dan Eco-Rimba. Bekok difahamkan bahawa JS-SEZ adalah merupakan kerjasama projek bagi memangkin dan memacu ekonomi antara Johor dan Singapura. Oleh yang demikian, Bekok mengharapkan agar Kerajaan Negeri Johor dapat membawa bersama DUN Bekok untuk terlibat sama dalam projek JS-SEZ yang bersesuaian
di dalam kawasan Bekok dan Labis. Agar kami di Labis dan Bekok dapat sama-sama menikmati limpahan pembangunan JS-SEZ di DUN Bekok. Dengan pembangunan yang sedang rancak disiapkan di DUN Bekok seperti jajaran laluan Keretapi Elektrik Utara Selatan (ETS), jalan pintas Bekok ke Paloh, Kluang serta kawasan pelancongan Eco Rimba di Bekok tentunya memberikan sedikit ruang dan peluang kepada DUN Bekok untuk menerima limpahan pembangunan projek JS-SEZ.
Keduanya, keperluan kawasan rumah mampu milik di DUN Bekok. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, keinginan masyarakat yang terdiri rakyat B40 dan M40 di dalam DUN Bekok untuk memiliki rumah sendiri sangat ketara di mana kawasan Bekok tiada langsung kawasan perumahan mampu milik dibina untuk masyarakat. Pada tahun 2018, kerajaan pusat melalui SPNB ada berhasrat untuk mendirikan satu kawasan perumahan mampu milik di sebidang tanah di Desa Temu Jodoh, Chaah. Namun setelah kerajaan Barisan Nasional tumbang di dalam PRU 14 pada tahun 2018, projek yang telah dirancang telah dibatalkan sehingga sekarang dan terbengkalai tidak dilaksanakan. Oleh yang demikian, Bekok memohon kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi dapat mengambil maklum perkara ini dan menjadikan DUN Bekok terutamanya didirikan satu penempatan penduduk untuk golongan B40 dan M40 yang mengharapkan rumah sendiri serta mampu milik. Bekok bagi pihak rakyat DUN Bekok mengharapkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mengambil maklum harapan masyarakat DUN Bekok untuk memiliki rumah mampu milik di dalam DUN Bekok ianya di kawasan Chaah dan Bekok.
Ketiga mengenai kenaikan nilaian taksiran yang terlalu tinggi di dalam kawasan Majlis Daerah Labis. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia bahawa Majlis Daerah Labis sekarang ini sedang menjalankan kerja-kerja penilaian semula cukai taksiran. Dalam kerja-kerja penilaian semula yang telah dilakukan oleh sebuah syarikat konsultan penilaian semula. Kadar nilaian yang dikenakan kepada pemilik-pemilik harta adalah tinggi dan mengikut aduan yang disampaikan di Pusat Khidmat ADUN Bekok, kenaikan 40 peratus mencecah 100 aduan dan kenaikan 100 peratus mencecah 40 aduan dalam masa beberapa hari. Oleh yang demikian, diharapkan kerajaan negeri Johor melalui Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mengarahkan Majlis Daerah Labis agar dapat mengkaji semula kadar nilaian yang telah dinaikkan kepada pembayar-pembayar cukai taksiran yang tinggi, yang mana masih tidak sesuai dalam keadaan rakyat di dalam kawasan Majlis Daerah Labis sedang berjuang menghadapi masalah ekonomi yang sangat mencabar sekarang.
Keempat mengenai serangan gajah di kawasan Bekok dan Kampung Sungai Karas Labis. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, sekumpulan gajah liar telah memusnah tanam, tanam-tanaman di Bekok. Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, gajah-gajah tersebut telah memusnahkan tanaman kontan seperti pisang, kelapa, kelapa sawit yang diusaha oleh penduduk di kawasan tersebut. Kawasan Bekok dan Kampung Baru Sungai Karas, gajah-gajah liar yang datang dari hutan simpan berdekatan. Oleh yang demikian, bagi memastikan gajah-gajah liar tidak kembali mengganggu tanaman dan penduduk di kawasan tersebut, saya mengharapkan Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Perhilitan agar melakukan sesuatu menghalang gajah-gajah liar terus mengganggu di kawasan tersebut.
Kelima berkaitan permohonan kebenaran bagi penggunaan dwibahasa di papan-papan tanda gerai penjaja Jalan Sultan Chaah. Bekok berpendapat bahawa isu papan tanda dwibahasa di pusat penjaja Jalan Sultan Chaah, pada asalnya adalah satu permintaan daripada peniaga-peniaga di pusat penjaja di Jalan Sultan Chaah, namun ia kini telah menjadi satu isu sosial. Untuk makluman sidang Dewan, tujuan utama pemasangan papan tanda pada sesebuah gerai adalah untuk memudahkan orang ramai memahami jenis makanan yang dijual di setiap gerai. Disamping itu juga, papan tanda pada sesebuah gerai adalah untuk memudahkan pelanggan-pelanggan untuk mengetahui menu makanan yang mengikut selera mereka dan peniaga-peniaga di pusat penjaja tersebut majoritinya peniaga-
peniaga bangsa Cina. Pelanggan-pelanggan yang di pusat penjaja tersebut kebanyakan adalah warga emas dan papan tanda gerai dwibahasa adalah untuk memudahkan mereka jenis makanan yang dijual di gerai-gerai disitu. Dan sebelum ini papan-papan tanda lama gerai di pusat penjaja Jalan Sultan, Chaah telah mengguna dwibahasa. Oleh yang demikian, Bekok berharap bahawa Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat mempertimbangkan penggunaan dwibahasa pada papan tanda lama gerai di Pusat Penjaja Jalan Sultan, Chaah. Disini adalah bukan untuk menidakkan bahasa kebangsaan tetapi adalah untuk memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggan bangsa Cina untuk mengetahui menu-menu yang dijual di gerai-gerai di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Dan yang akhir sekali, apa yang saya ingin bawa masalah rakyat di dalam DUN Bekok adalah selari dengan pembentangan belanjawan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor adalah berkaitan peruntukan atau insentif-insentif untuk anak-anak muda Johor. Sebagaimana yang sedia maklum, anak-anak muda Johor adalah aset negeri Johor untuk mereka menyambung perjuangan pemimpin terdahulu bagi membangunkan negeri Johor yang kita sayangi ini. Untuk makluman sidang Dewan, bahawa di parlimen Labis termasuk DUN Bekok masih tiada tempat yang serba lengkap untuk anak-anak muda menjalankan aktiviti sukan. Sekarang ini, anak-anak muda di Parlimen Labis tidak dapat menghidupan sukan bola sepak full team kerana tiada padang yang sesuai.
Oleh yang demikian, bagi DUN Bekok, harapan anak-anak muda Bekok perlu diambil perhatian yang serius agar mereka-mereka ini dapat terus bersemangat menyumbang idea dan tenaga bagi sama-sama membangunkan negeri Johor yang kita cintai ini khususnya DUN Bekok. Bekok mengharapkan agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dapat menimbangkan semula cadangan pembinaan mini stadium yang telah tertangguh perancangannya setelah kerajaan persekutuan pada tahun 2018 dahulu diambil alih oleh kerajaan PH. Bekok mengharapkan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dapat merealisasikan hasrat anak-anak muda Parlimen Labis untuk menikmati kemudahan bersukan di lokasi dan tempat yang selesa dan bersepadu di Parlimen Labis sebagaimana yang telah digazetkan oleh Majlis Daerah Labis, Mini Stadium Labis.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan, sebelum Bekok akhirkan ucapan ini, terima kasih Bekok ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah banyak membantu dan menyalurkan peruntukan khusus bagi membangunkan masyarakat dalam DUN Bekok dan menyediakan bakul makanan sempena Deepavali bagi masyarakat India DUN Bekok. Terima kasih juga DUN Bekok kepada semua pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Johor, pegawai-pegawai di daerah Segamat seperti Pegawai Daerah Segamat, Jurutera JKR Daerah Segamat, Yang Dipertua Majlis Daerah Labis, Jurutera JPS Daerah Segamat, Bomba Dan Penyelamat Labis dan lain-lain ketua jabatan daerah Segamat yang telah membantu saya dalam menyelesaikan banyak isu-isu rakyat terutamanya isu-isu berkaitan dengan kerja-kerja berkaitan projek Landasan Berkembar ETS di Labis dan Bekok. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini bahawa kebanyakan ketua-ketua jabatan akan segerakan, akan mengambil tindakan setelah menerima aduan daripada pihak ADUN Bekok dengan tuntasnya. Terima kasih saya ucapkan.Bekok juga mengharapkan agar syarikat-syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Johor dapat bekerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan bagi menyelesaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat agar masalah yang diadukan dapat selesai demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat setempat. Sekian, terima kasih. Dengan ini Bekok mohon menyokong. (Dewan bertepuk). Terima kasih.
Terima kasih Bekok. Dijemput Mahkota. Perbahasan sulung dalam Dewan ini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor. (Bacaan doa). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker kerana memberi ruang kepada Mahkota untuk membahas, membawa suara bagi rakyat DUN Mahkota. Pertama-tamanya patik mewakili seluruh rakyat DUN Mahkota dengan hormat dan takzimnya Merafak Sembah Menjunjung Kasih mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat sempena ulang tahun hari keputeraaan rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Patik mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Agong diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus memayungi negara dengan aman dan makmur. Patik juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah menjaga negeri Johor serta rakyatnya dengan adil dan makmur. Sebelum saya mulakan perbahasan saya, izinkan saya mulakan dengan serangkap pantun. Dari Mahkota ke Kota Iskandar, bukan kepalang bersambung cita, hati dikumpul hajatnya besar, berjasa untuk rakyat jelata.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Mahkota ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan izinnya dapat bersama dalam Dewan yang mulia ini untuk turut serta bagi membahas Belanjawan Johor 2025 dan mencari permuafakatan dalam urusan berkaitan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Johor. Disini Mahkota juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani yang sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan urusan pentadbiran negeri ini berjalan dengan lancar dan efisien. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada team Barisan Nasional yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Barisan Nasional Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya PRK DUN Mahkota serta seluruh rakan-rakan, wakil rakyat daripada Barisan Nasional serta jentera parti atas kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil Mahkota yang berlangsung pada bulan September yang lalu. Ini menunjukkan bahawa penerimaan Bangsa Johor yakin dan percaya terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Tidak dilupakan juga, penghargaan ini ditujukan kepada rakan Pakatan Harapan kerana membuktikan, menunjukkan semangat Madani sehingga menjadi penyebab kepada kemenangan yang sangat bermakna di PRK DUN Mahkota. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segalanya.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Belanjawan Johor 2025 yang telah dibentangkan pada Khamis lepas berpegang kepada enam Teras Maju Johor yang disulami dengan 244 inisiatif bertemakan “Maju Johor Rakyat Sejahtera”. Tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pembentangan belanjawan ini yang sangat holistik bagi merealisasikan Aspirasi Maju Johor serta menunjukkan bahawa kerajaan negeri Johor mengambil serius mengenai keseimbangan pembangunan dan modal insan di negeri Johor. Dalam pembentangan tersebut, Mahkota ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memasukkan beberapa insentif melibatkan kawasan DUN Mahkota antaranya melalui insentif keenam yang memperuntukkan sebanyak RM81.5 juta bagi projek pembangunan Pusat Pentadbiran Baru Daerah Kluang. Perancangan ini dilihat mampu memberi imej dan atau nafas baru buat sistem pentadbiran kerajaan negeri seiring dengan kemajuan di daerah Kluang. Pada masa yang sama, di dalam inisiatif kesembilan yang telah memasukkan Sungai Melantai, Kluang sebagai sebahagian daripada jumlah RM3.5 juta yang diperuntukkan bagi menaik taraf empangan sungai. Setidaknya bakal menyelesaikan banjir yang melibatkan beberapa penempatan khususnya di DUN Mahkota. Mahkota meletakkan harapan yang tinggi dalam Bajet 2025 memandangkan ianya adalah perkara yang dilihat mampu memberi impak atau limpahan hasil dari kerangka yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dan seterusnya memberi manfaat yang menyeluruh buat rakyat negeri Johor seiring ke arah agenda Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mengenai pendidikan. TVET merupakan antara kunci utama bagi menjayakan Agenda Maju Johor 2030. Dan ianya terbukti apabila di ukur keberkesanannya di negara-negara yang pesat dan membangun dengan membantu menjadikan rakyat tempatan sebagai tenaga mahir bagi menguasai pelbagai bidang dalam industri tumpuan. Ucapan tahniah buat Kerajaan Negeri yang telah menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC) yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi baru-baru ini. Dengan adanya JTDC ini, maka Kerajaan Negeri mampu membina pusat tenaga mahir mengikut acuan permintaan industri yang terlibat. Untuk makluman Datuk Timbalan Speaker, kami di Kluang mempunyai sebuah kawasan yang terletaknya Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang telah lama, yang kita nampak tidak berfungsi atau pun terbiar di dalam Mahkota. Jika tidak keberatan apalah kiranya Kerajaan Negeri dapat memberi nafas baru bagi menghidupkan semula YPJ untuk dijadikan training ground ataupun advance skill centre bagi menjayakan agenda JTDC. Justeru tenaga mahir yang dilahirkan bukan sahaja berkualiti malah berdaya saing serta mempunyai keboleh pasaran yang tinggi.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mengenai pengangkutan. Mahkota juga ingin bertanyakan di dalam Dewan yang mulia ini mengenai status semasa ETS. Electrical Train System. Berikutan adanya sebuah stesen di Mahkota iaitu stesen Kluang. Kerana, jika ETS ini dapat dipercepatkan beroperasi seperti yang ditetapkan, maka ia bukan sahaja dapat mewujudkan ataupun memudahkan pelancong dari luar untuk datang ke Mahkota. Malah ianya juga boleh mewujudkan konsep kehidupan bekerja di kota, berumah di desa. Mahkota mencadangkan sekiranya stesen ini dibuka, ruang perniagaan perlu diisi dengan produk-produk tempatan. Setidaknya setiap stesen mempunyai identitinya tersendiri.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, disebabkan stesen ini tidak berfungsi, pengguna terpaksa menggunakan laluan yang tidak selamat yang agak curam, tinggi Datuk Timbalan Speaker tempatnya dan juga tidak mesra untuk laluan OKU. Ini antara perkara-perkara yang selalu dibangkitkan oleh masyarakat di Kluang. Selain itu, Mahkota juga memohon Kerajaan Negeri untuk bersama dalam memikirkan cara bagi merancakkan dan membantu ekonomi peniaga di Perhentian Bas Kluang yang saban hari semakin merosot malah jika boleh diperluaskan menjadi salah satu Pelan Rejuvenasi Stesen Perhentian Pengangkutan Awam di seluruh daerah di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mengenai perumahan pula. Jika dilihat dalam pembentangan Bajet Johor 2025, terdapat peruntukan bagi menjayakan Agenda Bandar Pintar iaitu Pembangunan Command Centre dan Pemasangan Smart CCTV. Malah Mahkota difahamkan terlibat satu PBT di negeri Johor Bahru, di negeri Johor iaitu MBJB yang telah mendapatkan penarafan living smart city dan 7 PBT diberi penarafan early adopter smart city oleh pihak KPKT pada bulan Oktober yang lalu. Tetapi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam senarai 8 PBT tadi tidak mempunyai ataupun tidak tersenarai Majlis Perbandaran Kluang. Oleh itu, Mahkota memohon agar YB yang terlibat dapat memberi penerangan berkenaan status penarafan smart city. Apakah langkah dan perancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan semua PBT di Johor terutamanya Majlis Perbandaran Kluang diberi penarafan sebagai smart city. Mahkota juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana meletakkan Kluang antara daerah yang mempunyai rumah mampu milik yang tinggi di dalam negeri Johor.
Di samping itu, Mahkota juga ingin bertanyakan kepada Kerajaan Negeri, bagaimana kaedah yang terbaik bagi membela nasib pemilik rumah yang telah diduduki lebih 20 tahun yang mengakibatkan mereka mempunyai masalah struktur bangunan akibat pergerakan tanah di kawasan perumahan. Sebagai contoh, di kawasan Mahkota terdapat satu taman dinamakan Taman Makmur. Di sana ada sebaris rumah yang dilihat retak strukturnya utama akibat pergerakan tanah di bawah rumah. Jadi Mahkota berharap dapat difikirkan tindakan yang tuntas oleh kerajaan negeri bagi membela nasib pemilik-pemilik rumah tersebut.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya mengenai sumber manusia. Ekonomi gig sangat dekat di hati Mahkota. Untuk makluman Datuk Speaker, di kawasan Mahkota dan juga di daerah lain pastinya melihat golongan food rider yang tidak mempunyai kawasan istirehat atau tempat untuk mereka berkumpul ketika sedang bekerja. Sehubungan itu, Mahkota mencadangkan kepada kerajaan negeri agar dapat membina satu kawasan istirehat menggunakan konsep kabin yang mempunyai kemudahan asas yang sesuai dan keperluan mereka di setiap PBT yang boleh dinamakan pit stop atau pusat sehenti agar kebajikan food rider–food rider ini terbela.
Datuk Timbalan Speaker, mengenai kebajikan. Mahkota ingin bertanyakan kepada YB EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apakah status penubuhan Majlis Tindakan OKU (Orang Kurang Upaya) Negeri Johor yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO pada tahun lepas? Adakah ianya diteruskan dan jika diteruskan bilakah penubuhan ini dapat dilaksanakan?
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, mengenai pelaburan. Kluang mempunyai kedudukan yang sangat strategik memandangkan kedudukan geografinya berada di tengah-tengah negeri Johor yang menghubungkan daerah-daerah lain seperti Mersing, Kota Tinggi, Batu Pahat, Segamat serta mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang moden iaitu ETS. Sehubungan itu, Mahkota mencadangkan agar Kluang dijadikan atau diwujudkan satu land port ataupun pelabuhan darat yang berpotensi menjadi hab perdagangan di dalam negeri Johor. Cadangan ini dilihat sangat sesuai dan realistik untuk melaksanakan, untuk dilaksanakan bagi membuka ruang kepada kewujudan peluang pekerjaan di kalangan warga tempatan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah Kluang.
Mahkota juga ingin mengucapkan tahniah buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana berjaya membawa Johor ke satu tahap yang berbeza berbanding dengan negeri lain. Dengan wujudnya beberapa pelaksanaan antaranya Johor-Singapore Special Economic Zone seiring dengan Special Financing Zone, Financial Zone yang berpangkalan di Forest City. Pelaksanaan ini ternyata telah terbukti berikutan pulangan hasil pelaburan yang tinggi, penjanaan peluang pekerjaan dan seterusnya meletakkan kerajaan, meletakkan negeri Johor di persada antarabangsa.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Belanjawan 2025 ini menuntut pelaksanaan dan kerjasama sepasukan dari kita semua dengan cita-cita dan iltizam yang satu iaitu merealisasikan Agenda Maju Johor 2030. Dalam kesempatan ini, ingin saya nukilankan ingatan pemimpin agung Indonesia iaitu Presiden Sukarno untuk renungan kita bersama. Hanya bangsa yang berani mengambil nasib dalam tangan sendiri akan dapat berdiri dengan tegaknya. Mahkota mendoakan usaha ini dirahmati dan diberkati dan dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT. Sebagai penutup bicara, Mahkota menyokong Bajet 2025. Kepada Allah kita berserah. Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warah matullahi wabaratuh.
Waalaikumussalam Mahkota. Lulus. Cuma nak ingatkan dalam sidang Dewan ini tak ada Timbalan Ketua.
Maafkan saya.
Yang Berhormat seterusnya Yang Berhormat Senai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Maju Johor, Salam Malaysia Madani, salam perpaduan. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyertai sesi perbahasan dalam Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2025 Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Kelima Belas. Sempena Ulang
Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 22 November yang lalu, patik merafak sembah dengan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, patik amat mengalu-alukan pengumuman Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang mana cuti minggu negeri Johor kembali semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari yang akan datang. Patik berpandangan pertukaran ini sangat positif dan sangat menepati masa. Pertama, kini negeri Johor sedang menuju ke arah menjadi negeri maju menjelang tahun 2030. Jadi, sekiranya cuti mingguan tidak sama dengan antarabangsa dan pihak swasta maka ianya turut menjejaskan perlaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta juga pelaksanaan Zon Kewangan Khas di Forest City. Negeri Johor juga mengiktiraf untuk menjadi pilihan terutama kepada pelabur-pelabur antarabangsa. Jadi keputusan pertukaran cuti hujung minggu ini adalah amat penting kerana telah menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa mengutamakan agenda merancakkan ekonomi Johor.
Setelah penyelarasan cuti hujung minggu antara pihak awam dan pihak swasta, agensi kerajaan juga dapat mempercepatkan kelulusan projek pembangunan selain dan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat dan efisien. Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan memperkenalkan Johor Super Fast Lane supaya dapat menjimatkan masa urusan permohonan projek pembangunan. Dari segi logistik pula, pertukaran cuti ini dapat mempertingkatkan efficiency industri pengangkutan, Kastam dan pelabuhan kerana Johor mempunyai tiga pelabuhan kontena besar yang terletak di lokasi strategik dan bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor. Selain itu, inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada rakyat Johor meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak sekaligus mengurangkan masalah ponteng sekolah pada hari minggu yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, namun ada segelintir pihak juga meluahkan kerisauan yang mana sukar menyelesaikan segala urusan di pejabat kerajaan pada hari minggu. Seperti contoh, hari Ahad adalah hari di mana klinik kesihatan menerima pesakit paling ramai buat masa ini. Mengenai isu ini, Senai telah mencadangkan kerajaan Johor perlu mempertingkatkan dan mengenerasikan perkhidmatan atas talian serta memperkenalkan aplikasi telefon bimbit yang lebih mudah untuk urusan perkhidmatan kaunter.
Tahniah Senai ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah mencadangkan kuota Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer atau panggil SPTB dan e-Serahan dan juga pembangunan Sistem Pengurusan Tanah Serah Balik Kurnia Semula atau panggil e-SBKS. Selain itu, kerajaan juga komited untuk terus mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem pencapaian perkhidmatan melalui inisiatif-inisiatif seperti memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi pada waktu rehat antara jam 1.00 petang sehingga 2.00 petang, serta juga menyeragamkan waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun, Senai berpendapat cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah dengan tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja untuk sektor awam perlu dilihat dan dikaji secara terperinci. Buat masa ini, kami masih selalu menerima aduan berkaitan kesesakan di kaunter-kaunter perkhidmatan seperti di Pejabat Imigresen, Hospital Kerajaan ataupun Klinik Kesihatan dan sebagainya walaupun waktu bekerja sekarang adalah sebanyak lima hari. Selain daripada itu, kita juga perlu mengambil kira cadangan ini dengan teliti dari segi persekolahan memandangkan guru adalah kumpulan penjawat awam yang paling ramai. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan 1998 (Pindaan 2021) yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.
Oleh demikian, cadangan Senai adalah memberi Bangsa Johor masa yang mencukupi untuk penyesuaian dalam pertukaran cuti hujung minggu yang bermula pada tahun hadapan terlebih dahulu. Kemudian kerajaan soal selidik dengan mengumpulkan pandangan rakyat dari semua bidang terhadap pertukaran cuti juga turut Senai cadangkan supaya kita dapat melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, daerah Kulai giat berkembang dari segi ekonomi dan saiz populasinya. Justeru keperluan perkhidmatan perubatan juga perlu dipertingkatkan mengikut keadaan semasa. Terima kasih Senai ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi bantuan menaik taraf fasiliti di kesemua 12 wad kecemasan hospital kerajaan di seluruh negeri Johor. Selain daripada itu, RM4 juta juga diperuntukkan bagi menaik taraf fasiliti di klinik kesihatan yang melibatkan empat klinik kesihatan termasuklah Klinik Kesihatan Kulai. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai ataupun Hospital Kulai terletak di kawasan DUN Senai tetapi adalah satu-satunya hospital kerajaan di daerah Kulai yang memberi perkhidmatan kepada warga DUN Bukit Batu dan juga DUN Bukit Permai. Daerah Kulai ketiga tertinggi kepadatan penduduk iaitu seramai 330,000 penduduk pada tahun 2020.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah meletakkan sasaran nisbah doktor dan pesakit iaitu 1:400 pada tahun 2025, tetapi malangnya menurut jawapan daripada KKM sendiri pada tahun 2020, nisbah doktor dan pesakit untuk daerah Kulai adalah 1:2,376. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa Hospital Kulai tidak dapat menampung bilangan jumlah pesakit yang semakin bertambah kerana hanya berkapasiti 93 katil sahaja. Walaupun permohonan projek membina satu blok bangunan tambahan klinikal telah lama dikemukakan oleh Hospital Kulai, namun sampai sekarang masih tidak diberi keutamaan oleh pihak kerajaan. Senai faham pihak kerajaan kini sedang menumpukan perhatian terhadap usaha untuk menyiapkan projek Hospital Pasir Gudang dan juga projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2. Akan tetapi sekurang-kurangnya keperluan sebuah ambulans oleh Hospital Kulai yang sangat kritikal perlulah dipandang berat oleh kerajaan, pihak kerajaan. Mengikut statistik jumlah respons panggilan ambulans kecemasan pada tahun 2022, Hospital Kulai telah dicatatkan 2,546 kes dengan kapasiti enam ambulans sahaja. Memandangkan Hospital Kulai bukan hospital pakar, maka antaranya dua buah ambulans adalah untuk urusan penghantaran pesakit ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru. Dengan isu peningkatan kepadatan penduduk Kulai, permintaan perkhidmatan kesihatan pasti akan meningkat mendadak dan sudah pasti membebankan petugas-petugas kesihatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk menyuraikan kesesakan di hospital kerajaan, cadangan YB Stulang yang menyarankan hospital-hospital swasta termasuk Hospital KPJ supaya kerjasama dengan hospital awam adalah amat konstruktif. Kita mengalu-alukan hospital-hospital swasta di buka di mana-mana tempat yang mempunyai keperluan perubatan. Namun pada masa yang sama kita juga berharap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporat. Senai berharap cadangan YB Stulang selaku Ketua Pihak Pengimbang dapat dipertimbangkan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin. Senai mengesyorkan kerajaan dapat mengambil contoh Kerajaan Negeri Selangor yang melancarkan program Iltizam Selangor Sihat yang mana seramai 100,000 pemohon dan keluarga yang berdaftar berpendapatan rendah B40 mendapat manfaat dari segi rawatan asas vaksinasi dan manfaat perlindungan. Bagi kategori keluarga, sebanyak RM500.00 setahun untuk menerimakan rawatan asas di klinik-klinik berdaftar termasuk vaksinasi terpilih, manakala bagi kategori individu adalah RM250.00 setahun. Had kegunaan setiap kali adalah RM70.00 setiap rawatan. Tidak dapat dinafikan rangka-rangka membina hospital awam ataupun klinik-klinik kesihatan memerlukan kos yang besar, urusan yang rumit dan juga masa yang panjang. Semenjak saya menjadi ADUN Senai, saya telah memperjuangkan agenda untuk menambah sebuah klinik kesihatan yang baru di Senai. Setiap kali Senai bertanya status klinik kesihatan yang lama dirancangkan di Taman Mewah, Senai, setiap kali Senai mendapat jawapan yang hampir sama iaitu dalam urusan pemilikan
tanah. Walau bagaimanapun, Senai tidak akan berputus asa dan akan membangkitkan isu ini lagi kerana Senai berharap kerajaan negeri akan segera menyelesaikan isu tanah tersebut. Oleh demikian, kita perlu mencari penyelesaian jangka masa pendek dan sederhana supaya keperluan perubatan Bangsa Johor dapat terjaga dari semasa ke semasa. Senai cukup yakin kerajaan Johor dapat menghasilkan dasar-dasar perubatan yang komprehensif dengan kelebihan yang sedia ada di bawah kerjasama semua pihak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar kerana telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi penyediaan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor secara berfasa. Inisiatif ini amat penting kerana pada zaman ini rakyat minta tindakan dan maklum balas yang lebih cepat dan efisien. Pada sidang Dewan yang lepas, Senai pernah mencadangkan satu sistem pengendalian aduan secara aplikasi mudah alih tapi dapat dibangunkan yang mana ia dapat membolehkan rakyat membuat pelbagai aduan berkaitan setiap agensi kerajaan negeri melalui apps dengan lebih mudah dan cepat. Memandangkan kerajaan telah memberi perhatian terhadap banyak aduan rakyat tidak dapat diselesaikan secara berkesan, Senai membuat cadangan ini sekali lagi di Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada pengendali aduan, kita juga perlu mempunyai satu sistem pemantauan yang lebih sistematik. Aduan yang paling banyak diterima oleh Pejabat Khidmat Rakyat adalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Memandangkan sekarang kerja-kerja penyelenggaraan telah disalurkan kepada syarikat konsesi seperti kerja-kerja jalan, longkang dan pokok di bawah Safwa Global Venture Sdn. Bhd., kerja-kerja kutip sampah di bawah SWM Environment Sdn. Bhd., kerja-kerja lampu isyarat di Kulai sekarang pun di bawah South Max Sdn. Bhd. Kita memerlukan komitmen yang lebih tinggi daripada syarikat-syarikat ini untuk memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu kepada rakyat.
Sebelum ini kerja-kerja penyelenggaraan dapat dipantau oleh Ahli Majlis dalam PBT kerana kontraktor-kontraktor dilantik oleh PBT masing-masing. Tetapi kini projek-projek telah diberikan kepada syarikat-syarikat konsesi dengan kontrak berjumlah besar dan bertempoh masa yang panjang, sudah pasti kerja-kerja pemantauan akan sukar dijalankan seperti dahulu. Seperti contoh, kejadian lampu isyarat tidak berfungsi di Persimpangan Bertingkat Bandar Putra Indahpura telah berlaku secara berulang pada bulan Ogos yang lepas. Senai telah memohon syarikat konsesi membentangkan perancangan naiktaraf sistem tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah pada bulan yang sama. Sampai sekarang tidak menerima sebarang maklum balas. Oleh demikian, Senai meminta kerajaan menetapkan prosedur standard berurusan atau SOP yang lebih ketat terhadap syarikat-syarikat konsesi dan kerja-kerja pemantauan juga perlu dijalankan terhadap mereka untuk memastikan mereka dapat bertanggungjawab terhadap rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam soalan lisan yang dibangkitkan oleh Senai kali ini termasuklah satu soalan yang bertanya isu etnik Rohingya yang tidak mematuhi undang-undang di negara ini sehingga mengganggu ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat di kawasan sekitar Senai. Dan saya ingin tahu apa tindakan yang boleh diambil terhadap mereka. Tetapi Senai menerima surat maklum balas dari Pejabat Jurutulis pada Ahad yang lalu bahawa soalan lisan tersebut telah ditolak mengikut perundangan Peraturan-Peratuan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Bilangan 25(6). Tadi isu yang hampir sama juga telah dibangkit oleh Johor Lama, jadi Senai berpendapat bahawa isu ini adalah isu penting bagi rakyat Bangsa Johor dan Dewan yang mulia ini juga adalah platform yang paling sesuai untuk kita berbincang dan mencari penyelesaian bersama-sama secara rasional.
Akhir kata, Senai ingin mohon maaf atas kekurangan dan kelemahan yang ada dalam perbahasan ini. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Senai. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya nak mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan muafakat yang telah diberikan sehingga membolehkan masa kita dapat gunakan dengan sebaik-baiknya. Esok ada 12 orang lagi pembahas yang akan mengambil bahagian. Mudah-mudahan Dewan akan mendapat kerjasama yang baik daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri yang terlibat agar masa dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, Rabu, 27 November 2024 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.10 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Junaidah binti Paing Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Haironisha binti Zainal Abidin Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Nohafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 26 November 2024
VERBATIM