Johor · 27 November 2024

15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · not final · 110 turns · 33,673 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita Wakil Rakyat termasuk agensi dan jabatan kerajaan adakalanya perlu menggunakan budi bicara untuk menjadi problem solver dengan izin, yang berkesan. Budi bicara sering didefinisikan sebagai good office atau discretion.

Saya ada bukti di tempat saya di DUN Rengit terdapat perkampungan orang asli, Kampung Bumiputera Dalam. Ia bersempadan dengan Pasar Awam Rengit yang merupakan kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat. Tetapi kampung orang asli ini bukan kawasan majlis perbandaran. Di kampung ini ada dewan yang usang. JAKOA tidak ada duit untuk baikpulih.

Sebagai Wakil Rakyat, saya memohon dengan KPKT. KPKT iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggunakan budi bicara. Discretion, good office meluluskan peruntukan RM500,000.00 untuk baikpulih. Alhamdulillah, dewan bertambah cantik dan dapat digunakan seperti majlis perkahwinan untuk masyarakat orang asli. (Dewan bertepuk).

Semasa saya menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, Kementerian Wanita ada duit yang tidak dibelanjakan di hujung tahun dan sepatutnya dipulangkan kepada treasury. Tetapi menggunakan budi bicara semua pihak, duit itu diberikan kepada Kementerian Pelajaran. Saya mencadangkan kepada Menteri Pelajaran ketika itu, agar duit itu diguna untuk ganti katil dan tilam asrama desa di sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan di Sarawak. Lihat betapa pentingnya budi bicara untuk membantu menyelesaikan masalah sekolah-sekolah di pedalaman.

Sebab itu, saya memohon Jabatan Kemajuan Orang Asli menggunakan budi bicara membantu Puan Marliana supaya dapat memiliki rumah walaupun beliau tidak didaftarkan sebagai orang asli dalam kad pengenalannya. Tetapi dia orang asli, ibu bapanya adalah orang asli.

Sebab itu Ahli-Ahli Yang Berhormat, betapa pentingnya ya, budi bicara adalah satu daripada kaedah penyelesaian birokrasi yang kita sering hadapi. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.

Apakah satus dan perkembangan Forest City Special Financial Zone (FC-SFZ)?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bukit Batu.

Tuan Chiong Sen SernPKR · PHBukit Batu

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 2.

Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk memastikan SFC di Johor akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi sektor pembuatan dan logistik tanpa menimbulkan risiko kemasukan produk tiruan atau tidak selamat ke dalam pasaran.

Speaker

Dijemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Malaysia Madani.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum menjawab soalan insya-Allah pihak kerajaan Negeri juga akan guna budi bicara untuk membantu menyelesaikan masalah orang asli di kawasan Yang Berhormat Speaker. (Dewan bertepuk). Saya dah bincang dengan YB EXCO dan insya-Allah berita baiknya akan disampaikan tak lama lagi.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Ha, ini satu contoh betapa Menteri Besar kita ini sering menggunakan budi bicaranya. (Dewan bertepuk).

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab soalan Penawar dan juga Bukit Batu secara bersekali.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selaras dengan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 25 Ogos tahun yang lepas, berkenaan pelaksanaan Special Financial Zone di Forest City, pelbagai perkembangan menarik sudah berlaku sejak tarikh tersebut. Antaranya pada 20 September tahun ini, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengumuman Pakej Insentif Bagi Forest City Special Financial Zone. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua dan juga lebih 200 figura-figura penting institusi kewangan tempatan dan luar negara serta pemimpin-pemimpin industri.

Selain daripada pengumuman insentif-insentif, sukacita juga saya maklumkan bahawa Invest Malaysia Facilitation Center (IMFC) bakal dibuka di SFZ ini tahun depan. Tidak cukup dengan itu, Pejabat Satelit JTDC ataupun Johor Talent Development Council juga akan dibuka di Special Financial Zone tahun depan. Dan yang terkini pada 10 November, Kompleks Kastam DiRaja Malaysia di Forest City juga telah dirasmikan. So, ini antara perkembangan-perkembangan terbaru dan terkini yang berlaku di Special Financial Zone Forest City.

Saya juga nak maklumkan bahawa selepas insentif telah diumumkan, kita ke fasa yang seterusnya iaitu untuk mendapatkan gazette order yang merangkumi kriteria dan garis panduan permohonan pakej insentif. Jadi, untuk setiap insentif ini perlu ada kriteria-kriteria. Dan, kriteria-kriteria ini sedang diperkemaskan melalui gazette order dengan kerjasama Kementerian Kewangan, MDEC, SC dan juga LHDN. Insya-Allah gazette order ini akan selesai pada awal tahun depan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi sektor-sektor yang diutamakan di Special Financial Zone ni ada dua.

Pertamanya, sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan. Perkhidmatan ini ditawarkan di Pulau Satu, Forest City yang bukan sahaja menyediakan kemudahan perbankan tetapi juga memenuhi keperluan perniagaan dan komuniti komersil seperti pelaburan, insurans dan penggunaan financial technology, regtech ataupun regulation technology dan juga insurance tech iaitu insurance technology, untuk perbankan konvensional dan Islam juga.

Tak lupa juga ada juga sektor bagi pejabat keluarga ataupun family office yang pertama di Malaysia. Sebagai lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan kadar cukai istimewa untuk family office, FC-SFZ memiliki potensi besar untuk menarik family office seperti

Singapura dan Hong Kong kerana ciri-cirinya serupa dengan apa yang ditawarkan di sana. Ini termasuklah kedudukan strategik di rantau asia, akses kepada pasaran serantau dan sokongan infra kewangan yang sedang dibangunkan. Kehadiran family office di FC-SFZ ini akan mencipta pekerjaan dalam sektor kewangan, guaman, hartanah, perancangan harta pusaka perkhidmatan sosial dan perkhidmatan sokongan lain.

Sektor kedua di FC-SFZ ini Yang Berhormat Speaker, adalah perkhidmatan logistik, pusat perkhidmatan global dan perkhidmatan.

Jadi, nak menjawab soalan Bukit Batu tadi, sektor pembuatan tidak dilibatkan dalam SFZ ini. Jadi, perkhidmatan ini ditawarkan di kawasan daratan. Jadi kita ada pulau dan kita ada juga daratan di Special Financial Zone ini.

Selain itu, dua sektor ini juga akan disokong melalui perkhidmatan sokongan atau juga dipanggil sebagai meet office support services dan juga back office support services yang merangkumi sokongan pelanggan dan pembangunan produk, sokongan teknologi dan IT, pemasaran, kewangan dan juga perakaunan, sumber manusia dan bakat dan undang-undang dan peraturan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi insentif pula kedua-dua Pulau Satu dan kawasan daratan mempunyai insentif bersyarat yang mensasarkan sektor-sektor tertentu. Insentif bagi Pulau Satu memberikan tumpuan kepada perkhidmatan kewangan, manakala kawasan daratan akan memberi fokus kepada logistik, hub perkhidmatan global dan perkhidmatan penempatan semula.

Terdapat 9 insentif di Pulau Satu, Special Financial Zone ini.

1. Kadar cukai korporat adalah sebanyak 0 hingga 5 peratus. Kalau berbanding dekat tempat biasa, kadarnya ialah 24 peratus.

2. Forest City seperti yang saya sebutkan menjadi lokasi pertama yang menawarkan family offices dengan kadar cukai 0 peratus selama 20 tahun.

3. Kadar cukai 5 peratus selama 20 tahun untuk perkhidmatan perniagaan kewangan seperti perniagaan kewangan global, fintech, pengendali sistem pembayaran asing termasuk meet office dan juga back office.

4. Kadar cukai pendapatan individu khas hanya 15 peratus untuk pekerja berpengetahuan dan rakyat Malaysia yang bekerja di SFZ Forest City.

5. Pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus sehingga 100 peratus.

6. Kadar cukai keuntungan harga tanah ataupun RPGT sebanyak 0 peratus selama 5 tahun.

7. Potongan khas perbelanjaan penempatan semula sehingga RM500,000.00.

8. Tax depreciation sebanyak 10 peratus setahun; dan

9. Pengecualian cukai pegangan 10 tahun untuk perkhidmatan.

Untuk kawasan daratan pula, dua insentif yang telah diumumkan.

1. Elaun cukai pelaburan sebanyak 100 peratus selama 5 tahun untuk menolak 100 peratus pendapatan berkanun bagi sektor perkhidmatan logistik.

2. Kadar cukai 5 peratus sehingga 20 tahun, 10 plus 10 bagi pusat perkhidmatan global dan perkhidmatan pemindahan. Ini adalah tertakluk kepada pengembangan operasi sekurang-kurangnya 30 peratus.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menjawab soalan Yang Berhormat Bukit Batu juga, seperti saya sebut tadi ia melibatkan sektor logistik dan bukan sektor pembuatan. Dan bagi sektor logistik secara dari segi soalan tentang risiko kemasukan produk tiruan atau tidak selamat dalam pasaran yang telah dibangkitkan. Penubuhan Kompleks Kastam baharu di Forest City baru-baru ini adalah antara inisiatif yang kita buat di mana fasiliti ini bertujuan meningkatkan kecekapan dalam pengecaman serta proses analisis imej, seterusnya memantapkan tahap keselamatan dan mereka juga menggunakan teknologi seperti penjejakan digital dan kod bar dan dia akan diperluas untuk memantau asal usul pergerakan sesuatu produk. Keduanya kita akan menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memantau dan mengambil tindakan ke atas produk-produk tiruan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan Special Financial Zone di Forest City kerana ia akan dapat memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya di kalangan bangsa Johor. Antaranya termasuklah pertama, pelaksanaan SFZ ini akan mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang signifikan bagi rakyat Johor. Kemasukan syarikat-syarikat, baik dari dalam mahu pun luar negara akan membuka pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, perbankan, pembinaan, dan teknologi maklumat. Keduanya, ia juga akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan yang pesat. Peningkatan jumlah pekerja dan syarikat yang beroperasi di kawasan ini akan meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan. Jadi insya-Allah, kita doakan supaya Special Financial Zone di Forest City ini akan mendapat sambutan yang baik dan juga mendapat bantuan dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri insya-Allah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput, Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Amat Berhormat di atas penerangan perkembangan SFZ yang menunjukkan perkembangan yang positif dan sangat baik. Soalan tambahan saya, apakah status terkini pelabur-pelabur sama ada tempatan atau antarabangsa yang telah menyatakan minat untuk membuka cawangan di Special Financial Zone ini?

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Penawar atas soalan yang baik itu tentang siapa yang nak mula register minat untuk datang kepada kita di Special Financial Zone. Saya, sebelum saya cakap siapa yang nak masuk SFZ ada perkembangan menarik Yang Berhormat di mana pada tahun ini ada MOA, Memorandum of Understanding Agreement yang ditandatangani dengan antara syarikat Korea dengan SFZ. Dia sign MOA dan dia sign MOA tersebut pada bulan Ogos tahun ini. Saya difahamkan pada awal tahun hadapan mereka akan mula construct showcase studio di mana mereka akan mempromosikan makanan-makanan dan juga budaya Korea di kawasan SFZ ini. Jadi ia akan jadi satu tarikan pelancongan untuk kita di Johor. Jadi, lepas ni kalau Datuk Speaker nak makan kimchi tidak payah pergi ke Korea. Datuk Speaker kita boleh makan di Special Financial Zone.

Speaker

Saya pun dah mula minat makan makanan Korea, Yang Amat Berhormat.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Nanti saya belanja Datuk Speaker kat sana. Yang Berhormat Speaker, saya juga nak laporkan kepada Ahli-Ahli sidang DUN menjawab soalan Penawar. Sekarang ini, dari segi institusi kewangan utama yang sudah register minat ada lima. Pertamanya, Maybank, keduanya, Public Bank, ketiganya, Hong Leong, keempat AmBank dan juga kelima Bank of China. Itu untuk institusi perbankan. Untuk middle office dan back

office yang sebutkan tadi. Yang berminat sekarang ini adalah UOB dan juga Credit Lyonnais Securities Asia (CLSA). Untuk family office pula ada lapan syarikat yang telah menyatakan minat mereka antaranya pertama adalah Tiong Nam Logistics Holdings Berhad. Keduanya AME Elite Consortium Berhad. Ketiga, Wan Li Holdings. Keempat, Portcullis Group. Kelima KinderWorld Group dan ada satu syarikat daripada Indonesia dan dua syarikat daripada Taiwan mereka minta supaya nama mereka tidak disebut. Dari segi pengurusan aset, CIMB telah mendaftar minat dan juga keduanya Galaxy Securities. Untuk logistik pintar, smart logistics Tiong Nam Logistics Holdings Berhad telah menyatakan minat mereka. Jadi, Yang Berhormat Speaker, seperti apa yang saya bentangkan itu, kita lihat ada minat yang besar daripada institusi-institusi kewangan, logistik, middle office dan back office untuk datang ke Special Financial Zone ini dan saya yakin bila kita wartakan awal tahun depan kriteria-kriteria yang lebih terperinci lebih banyak institusi-institusi yang akan hadir di bumi bertuah Johor insya-Allah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Tahniah Yang Amat Berhormat. Ada lagi soalan tambahan? Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati. 84 orang guru dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saadon Rengit dan dua pegawai daripada Pejabat ADUN Rengit. Saya belanja dia orang makan tengahari ini Yang Amat Berhormat. (Dewan bertepuk). 11 orang pemerhati daripada DUN kawasan Senai dan dua orang pesawah daripada Sungai Balang. Ini Yang Berhormat EXCO Luar Bandar yang jemput dan enam orang pemerhati daripada DUN kawasan Mahkota, YB bongsu kita. Terima kasih, sila duduk. Saya jemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, soalan saya nombor 3.

Masalah pelupusan sampah dilihat menjadi isu utama apabila dapat dilihat pertambahan penduduk dan premis, perniagaan semakin meningkat. Pengurusan pembuangan, angkut sampah, dan pengurusan pelupusan berjadual masih ditahap yang sama. Apakah langkah-langkah jangka masa hadapan yang akan dilaksanakan bagi isu ini?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Parit Raja.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan saya yang nombor 4.

Sisa makanan yang dibuang di tapak pelupusan menghasilkan gas metana iaitu sejenis gas rumah hijau. Kesan gas ini ke atas pemanasan bumi ialah 34 kali lebih teruk berbanding karbon dioksida. Minta dinyatakan usaha pihak kerajaan menanganinya.

Speaker

Sila Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. (Doa). Yang Berhormat Datuk Speaker soalan ADUN Sedili dan ADUN Parit Raja berkaitan dengan isu pelupusan sampah dan juga gas rumah hijau. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara atau di panggil JPSPN. Melalui pewartaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, Akta 672 yang telah berkuatkuasa pada 1 September 2011. Namun begitu Pihak Berkuasa Tempatan yakni PBT Negeri Johor tetap mengambil tindakan proaktif bagi menghadapi pertambahan penduduk dan premis perniagaan yang sedang meningkat. Antaranya adalah melalui penetapan syarat ia kepada pihak pengurusan bagi pengurusan sampah di kawasan ICI dengan lantikan kontraktor yang berdaftar di bawah JPSPN. Selain itu, terdapat beberapa PBT yang memperluaskan kawasan cukai dan perkhidmatan kutipan sampah telah diberikan kepada pihak konsesi iaitu SWM untuk mengendalikan hal tersebut. Sekiranya terdapat isu berkaitan servis tersebut akan

dibincangkan dalam mesyuarat RIC melibatkan pihak SUKT Tempatan, Kerajaan Tempatan, SWCorp, SWM dan PBT pada setiap bulan. Sebagai contoh, antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri ialah menetapkan penyediaan rumah kitar semula dengan syarat-syarat OSC bagi premis industri, malahan Smart Trash Collection System atau STCS juga telah dilaksanakan seperti di taman rekreasi, Hutan Bandar Mutiara Rini dan Taman Rekreasi Sireh Park serta di dalam pelaksanaan pengurusan sisa organik kompos di Pasar Awam Taman Universiti.

Dari Majlis Perbandaran Pengerang pula iaitu MPP mengambil inisiatif melalui penyediaan tong roro secara berpusat telah dilaksanakan di kawasan luar bandar yang terletak berhampiran di kawasan dengan kawasan Majlis Perbandaran Pengerang. Kolaborasi bersama pihak KEJORA bagi memastikan kampung tradisi disediakan perkhidmatan mengangkat sampah yang ditanggung kos operasi oleh penduduk kampung itu sendiri. Selain itu, fasiliti bagi menguruskan sisa pepejal memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan operasi kutipan dan pelupusan sampah tidak terganggu. Sehingga kini terdapat tujuh tapak pelupusan sampah yang beroperasi di negeri Johor. Lima daripadanya berada di bawah seliaan JPSPN atau SWCorp.

1. Tapak Pelupusan Sanitari Seelong, Kulai. 2. Tapak Pelupusan Sampah Batu 4 Kota Tinggi. 3. Tapak Pelupusan Sampah Jemaluang, Mersing. 4. Tapak Pelupusan Maokil, Labis. 5. Tapak Pelupusan Buluh Kasap, Segamat.

Manakala, dua lagi tapak pelupusan yang berada di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan ialah Majlis Bandaraya Pasir Gudang mengendalikan TPS Tanjung Langsat dan Majlis Perbandaran Pengerang mempunyai satu tapak pengurusan sampah iaitu Tapak Pelupusan Bukit Tua Tau, Bandar Penawar. Ini betul nama dia memang Tua Tau. Betul eh, Bandar Penawar? Dan dalam proses permohonan kepada JPSPN untuk penutupan selamat selaras dengan perancangan baharu pembangunan loji pengurusan sampah secara WTE atau dipanggil waste to energy di mukim Sedili Kecil.

Berhubung isu penghasilan gas rumah hijau dari tapak pelupusan sisa, suka untuk saya nyatakan di Dewan ini bahawa berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh pihak SWCorp, 40 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan adalah terdiri daripada sisa makanan. Proses penguraian sisa makanan ini akan menghasilkan gas metana di tapak pelupusan. Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan telah melaksanakan beberapa langkah untuk menangani dan mengurangkan penghasilan gas metana. Langkah kawalan telah diambil oleh pihak SWCorp antaranya membuat penutupan dengan menggunakan tanah di kawasan sel sampah yang tidak digunakan lagi dan juga di kawasan sel aktif di mana pihak operator tapak membuat penutupan sampah dengan menggunakan tanah atau kanvas secara harian.

Bagi tahun 2024 sebanyak 323 kempen telah dijalankan dan 69 daripadanya memberi fokus kepada kempen hargai makanan, elak pembaziran bagi keseluruhan negeri Johor. Di dalam kempen yang dijalankan, pihak SWCorp telah menekankan rawatan sisa di punca seperti kaedah mengkomposan, memproses sisa makanan daripada ianya dibuang ke tapak pelupusan. Langkah ini dapat membantu mengurankan sisa makanan dan secara tidak langsung dapat mengelakkan terjadinya gas metana di tapak pelupusan. Selain itu, seperti ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sebanyak RM700,00.00 diperuntukkan bagi meluluskan Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi membolehkan komuniti untuk melakukan program atau projek yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan persekitaran selari dengan inisiatif-inisiatif seperti masyarakat rendah karbon, Local Agenda 21, Sustainable Development Goal, bandar selamat dan lain-lain. Terima kasih.

Speaker

Jemput Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih. Tangkak tertarik oleh jawapan daripada Yang Berhormat EXCO berkenaan dengan pusat pengumpulan sisa organik kompos yang berada di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. Tangkak ingin tanya apakah sambutan atau keberkesanan bagi pusat pengumpulan kompos ini dan apakah bantuan yang akan diberi oleh Kerajaan Negeri bagi memperluaskan perkhidmatan ini ke seluruh negeri Johor supaya sisa-sisa makanan ini tidak dihantar terus ke tapak pelupusan yang sedia ada sehingga apa tu memenuhkan tapak pelupusan kita. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Pertama, bila kita semak balik data yang ada ini, agak mengejutkan juga bila penghantaran sisa sampah pukal atau pepejal, 40 peratus adalah daripada sisa makanan. Maknanya, kalau 100 kilo tu, 40 kilo daripada sisa makanan maksudnya pembaziran. Jadi, inisiatif di peringkat Majlis Daerah Tangkak akan diperluaskan di semua tempat. Sebenarnya, kesedaran di peringkat masyarakat bukan bermula dari sudut aktiviti itu sendiri, tetapi di peringkat rakyat keseluruhannya kena faham bahawa bila pembangunan semakin pesat, maknanya pengurusan sampah semakin maju. Sebab itu, dulu 10 tahun yang lepas kita menggunakan kaedah dipanggil landfill biasa. Landfill biasa ni maknanya dia buang sampah lepas tu di tapak pelupusan selepas itu ditimbus, itu kaedah lama. Dan kaedah ini masih lagi berlaku di lokasi-lokasi tertentu. Dan selepas itu, teknologi baharu masuk di mana di TPS Seelong menggunakan dipanggil sanitari. Sanitari ini adalah di mana di bawah tempat pengumpulan sampah itu diletakkan dipanggil linear dan linear itu dimana sisa sampah atau dipanggil air larut, air larut dia akan berkumpul di bawah kawasan linear itu dan air sampah itu akan diproses menjadi bahan bakar dan dijadikan bahan elektrik, tenaga elektrik. Dan teknologi yang terkini ialah dipanggil WTE. WTE ini adalah teknologi waste to energy dan konsep dia ialah sebagaimana di Singapura iaitu semua sampah-sampah dibakar dan dijadikan bahan bakar dan tak ada tempat pengumpulan sampah. Jadi, di Johor ini bila kita melihat kembali tentang isu pengurusan sampah ini maknanya di peringkat sekarang di peringkat YB Menteri telah mengumumkan ada tiga kawasan yang akan dicadangkan sebagai pengurusan sampah berteknologi tinggi menggunakan waste to energy (WTE) iaitu di Bukit Payong, TPS Bukit Payong, di TPS Seelong dan juga di TPS Sedili, ya Sedili, yang ini dalam perancanganlah. Sebab itu sebenarnya bukan itu sahaja, maknanya di peringkat PBT-PBT ini memang kita galakkan supaya recycle aktiviti seperti penggunaan teknologi baharu, apa tu penggunaan gas rumah hijau, lepas tu pembelian credit carbon. Ini usaha-usaha yang dilakukan untuk menguruskan sisa sampah ini pada masa akan datang. Terima kasih.

Speaker

Ya, jemput Parit Raja.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih jawapan dan komitmen daripada Kerajaan Negeri dan Yang Berhormat EXCO. Soalan saya, ada tak tindakan undang-undang terhadap syarikat yang gagal menyediakan perkhidmatan memproses sisa makanan. Sekarang ni dia kutip, dia letak tetapi kerja-kerja perkhidmatan memproses sisa makanan dibuat mengikut KPI ataupun ketetapan yang telah ditentukan kerana kesan pemanasan, kesan pembuangan sisa makanan ini sangat teruk Yang Berhormat Datuk Speaker. Ia mengakibatkan pemanasan global yang akhirnya hari ini kita ketidaktentuan cuaca. Kalau panas, panas sangat, kalau hujan, terlalu teruk dan bencana-bencana yang lain. Jadi, apa yang kerajaan boleh bagi satu penekanan kepada syarikat-syarikat ini sekiranya mereka gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Terima kasih Yang Berhormat.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB. Pertama, kita bila bercakap tentang isu pengurusan atau penguatkuasaan sisa sampah ini. Sebenarnya, di peringkat PBT hanya menjurus kepada lebih kepada denda dan sebagainya ataupun di peringkat Jabatan Kesihatan. Di peringkat pengurusan sampah itu

sendiri, kita tak ada akta tertentu atau seksyen untuk memastikan bahawa sisa makanan itu perlu proses. Apa yang dilakukan ketika ini lebih kepada pengurusan maksudnya kalau di restoran atau di kilang makanan dan sebagainya, proses itu akan diambil oleh SWM dan dihantar ke tempat pelupusan sampah yang itu kaedah yang sekarang dipraktiskan. Sebab itu dari segi penguatkuasaan secara dasarnya saya lihat masih lagi lemah dan boleh ditambah baik. Dah tentulah di peringkat Akta Pengurusan Sampah ini pun tak letak di dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri sebab dia adalah di dalam bidang kuasa SWCorp. Dan SWCorp ni adalah di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan itu sendiri. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Minta Kerajaan Negeri menjelaskan hasil lawatan kerja ke Korea Selatan serta anggaran pelaburan yang akan masuk ke negeri Johor dan industri dan lokasi yang akan menjadi tumpuan bagi pelaburan tersebut.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan hasil lawatan kerja Kerajaan Negeri Johor ke Korea Selatan baru-baru ini. Misi galakan perdagangan dan pelaburan ke negara Korea Selatan yang diketuai oleh Dato’ Menteri Besar baru-baru ini telah menghasilkan prospek pelaburan yang positif untuk negeri Johor iaitu dengan anggaran nilai pelaburan berpotensi melebihi US$190 juta atau lebih kurang RM850 juta. Delegasi telah mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan termasuk Hanwha Solutions Corporation, SPC Group, LG Chemical dan CJ CheilJedang Group dan lain-lain. Syarikat-syarikat telah pun menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor-sektor seperti tenaga bersih, bahan kimia dan industri makanan halal. Sebagai contoh, Hanwha Solutions Corporation terkenal dengan inovasi dalam sektor tenaga bersih dan bahan kimia, manakala SPC Group merupakan syarikat makanan global yang menerajui pasaran dengan jenama terkenal seperti Paris Baguette.

Delegasi turut mengadakan lawatan tapak ke Syarikat Kiswire yang telah pun melabur di kawasan Pasir Gudang hampir 40 tahun. Kita juga lawat ke Busan Port, kunjungan hormat kerajaan Busan serta mengadakan perjumpaan dengan Bangsa Johor yang berada di Korea Selatan. Selain itu, seminar yang bertajuk, “Unlocking Regional Growth: Business Opportunities in Johor-Singapore Special Economic Zone” telah menarik penyertaan sebanyak 83 syarikat Korea Selatan dari pelbagai industri. Ini menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluang pelaburan dan perdagangan di Johor terutamanya dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang menawarkan ekosistem perniagaan yang kondusif dan akses strategik ke pasaran serantau. Antara lokasi yang bakal menjadi tumpuan bagi pelaburan adalah seperti berikut; Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat dan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang yang merupakan lokasi yang strategik serta siap dengan infrastruktur yang lengkap dan kemudahan sokongan untuk industri kimia dan petrokimia.

Selain itu, kawasan perindustrian seperti Ibrahim Technopolis, Iskandar Halal Park, Eco Business Park, Nusajaya Tech Park, AME i-Park and Senai Airport City yang menyediakan infrastruktur asas yang baik turut menjadi lokasi tumpuan. Kerajaan Negeri Johor yakin bahawa hasil daripada lawatan kerja ini akan memberikan kesan positif pada Johor. Baru tadi kita juga dengar dari Dato’ Menteri Besar ada syarikat Korea yang ingin melabur di kawasan Forest City. Maka, kita jangka akan membantu dengan pertumbuhan ekonomi dan juga melalui pembangunan industri strategik yang mampan. Dengan penyusunan ekosistem pelaburan yang lebih teratur, Johor akan terus menjadi salah satu negeri yang paling berdaya saing di Malaysia dan juga di rantau ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ia, sila Yang Berhormat.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya saya nak ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor kerana pelaburan yang cukup bermakna ini ke dalam negeri Johor. Soalan saya, apakah perancangan atau strategi kerajaan untuk melibatsamakan syarikat-syarikat tempatan dalam pembangunan dengan pelaburan luar ini terutamanya pembangunan di Forest City supaya kita juga nak ada keseimbangan untk elakkan dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, foreign market dominance dalam pembangunan negeri Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih ADUN Puteri Wangsa. Soalan ini cukup penting ia merupakan satu perkara yang diambil berat oleh Kerajaan Negeri Johor dan juga Kerajaan Persekutuan supaya apabila ada kemasukan pelaburan asing, kita wujudkan rantaian bekalan tempatan yang dapat dikaitkan, yang dapat menyumbang kepada rantaian global syarikat asing tersebut. Maka, apabila sesuatu syarikat datang ke Johor, kebiasannya apabila mereka mengadakan perbincangan serta bermesyuarat dengan Invest Johor, dengan pihak MIDA, maka kita sentiasa akan perkenalkan syarikat tempatan yang dapat menyumbang kepada perniagaan ataupun pelaburan mereka. Untuk khasnya untuk syarikat-syarikat yang menerima insentif daripada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri memang dalam syarat tertentu kita akan tetapkan berapa peratusan dari bekalan tempatan, berapa peratusan pekerja tempatan dan selebihnya. Dan juga khas untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga dalam perbincangan adalah macam mana kita dapat membangunkan rantaian bekalan tempatan untuk meningkatkan daya saing syarikat-syarikat tempatan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Panti nombor 6.

Mohon nyatakan bentuk bantuan segera bagi usahawan kecil seperti peniaga tepi jalan atau pasar malam yang ditimpa bencana seperti banjir dan ribut?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Panti yang menyatakan apakah bentuk bantuan segera bagi usahawan-usahawan kecil seperti penjaja kecil tepi jalan ataupun pasar malam yang ditimpa bencana seperti banjir mahupun ribut.

Untuk makluman Yang Berhormat Panti, terima kasih di atas keprihatinan terhadap usahawan-usahawan khususnya pengusaha mikro dan kecil yang terkesan dengan bencana seperti banjir dan ribut. Berdasarkan data pelesenan diperolehi oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd ataupun (PUJB), seramai 27,040 orang penjaja dan peniaga kecil direkodkan, yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2024. Data itu merangkumi dan satu jumlah 13,307 peniaga dan penjaja pasar malam Datuk Speaker. Yang keduanya, 3,278 peniaga pasar pagi, 227 peniaga pasar tani, 8,737 penjaja statik dan yang terakhir adalah 1,491 penjaja bergerak.

Di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru juga mencatatkan bilangan penjaja dan peniaga kecil tertinggi daripada semua 16 PBT di dalam negeri Johor iaitu seramai 5,915 orang peniaga yang merangkumi 2,152 orang peniaga pasar malam, 921 peniaga pasar pagi, 2,764 penjaja statik dan juga 78 usahawan ataupun peniaga bagi penjaja bergerak. Ia

diikuti Majlis Iskandar Puteri (MBIP) seramai 3,132 orang. Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pula ketiga tertinggi iaitu seramai 2,226 orang dengan pecahan-pecahannya. Sementara itu bagi Majlis Daerah Kota Tinggi, Yang Berhormat Panti juga boleh mengambil maklum jumlah peniaga kecil dan penjaja yang direkodkan dalam senarai di pihak PBT, MDKT iaitu seramai 1,494 peniaga merangkumi 745 peniaga pasar malam, 199 peniaga pasar pagi, 227 peniaga pasar tani dan 303 penjaja statik dan 20 usahawan bagi penjaja yang bergerak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya yakin yang saya nyatakan tadi sedikit sebanyak ada, yang ada di dalam kawasan Yang Berhormat Panti. Kerap didengari bantuan khas disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir, yang rumah mereka ditimpa bencana seperti banjir namun jarang kita dengar bantuan kepada peniaga yang turut terjejas dalam bencana-bencana.

Untuk makluman juga, Kerajaan Negeri Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) ada memberikan juga bantuan-bantuan apabila tragedi-tragedi yang tidak diingini iaitu ribut mahupun banjir dalam geran ataupun berbentuk one-off contohnya penyerahan 27 khemah kepada peniaga di Taman Rinting, Bandar Seri Alam yang terjejas ribut pada 23 November pada tahun 2022. Penyerahan sumbangan RM5,000.00 kepada 4 peniaga premis mereka yang terjejas dalam kebakaran di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Central pada 18 Oktober 2023 dan ada beberapa lagi yang secara one-off boleh saya berikan secara bertulis sekiranya Yang Berhormat Panti inginkan.

Saya menyambut saranan Yang Berhormat Panti dan saya juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dapatlah mempertimbangkan juga agar bantuan juga diberikan kepada peniaga dan usahawan-usahawan yang terkesan selain keluarga yang turut terkesan dan terjejas ketika banjir. Bantuan ini juga perlu diberikan segera selain mengharapkan bantuan sedia ada di bawah dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk PKS iaitu kemudahan bantuan bencana, yang mana kemudahan bantuan bencana Disaster Relief Facility (DRF) ini merupakan kemudahan pembiayaan yang ditubuhkan oleh BNM ataupun Bank Negara Malaysia bagi meringankan beban kewangan PKS dan perusahaan mikro yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, untuk membolehkan mereka meneruskan operasi-operasi perniagaan mereka. Bagi pembiayaan DRF bertujuan adalah membaiki dan menggantikan aset untuk kegunaan peniaga contohnya loji dan mesin yang telah rosak akibat banjir ataupun modal kerja.

Kita semua sedia maklum PKS dan perusahaan mikro juga layak boleh mendapatkan pembiayaan. Pembiayaan bermula daripada RM700,000.00 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000.00 bagi perusahaan mikro di program DRF itu.

Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.

Speaker

Ya, jemput Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang telah diberikan. Dan saya pun bersetuju, saya pun menyokong bagi agensi-agensi berkaitan bantu peniaga-peniaga jika berlaku kecemasan yang seperti yang dinyatakan.

Soalan saya adakah apa kerajaan negeri mempunyai sebarang bentuk insentif, untuk kita perkasakan khususnya persatuan-persatuan penjaja dan peniaga macam contohnya persatuan peniaga pasar malam bagi tujuan yang sama. Maksudnya jika berlaku banjir, ribut dan sebagainya, persatuan ini boleh beri bantuan kecemasan, mungkin dalam masa 24 jam kepada mereka yang terjejas kerana meniaga ni Yang Berhormat Datuk Speaker, dia tak boleh nak tinggal lama, dia sumber pendapatan mereka hari-hari. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Panti. Datuk Speaker, sepertimana yang direkodkan dalam Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor yang mana tahun ini sahaja telah merekodkan lebih daripada RM250 juta yang kita telah bantu kepada usahawan-usahawan sama ada dalam bentuk pembiayaan mahupun dalam bentuk outgrant.

Sehubungan dengan ajuan soalan yang diberikan oleh Yang Berhormat Panti tadi, Kerajaan Negeri Johor sentiasa menjadi satu pemudahcara kepada semua agensi-agensi khususnya Perbadanan Usahawan Negeri Johor. Sebab itulah mana-mana persatuan-persatuan peniaga-peniaga sama ada dari daerah-daerah haruslah mendaftar untuk mendapatkan satu rekod kepada Perbadanan Usahawan Johor agar setiap bantuan-bantuan itu kami akan selaraskan di setiap daerah-daerah.

Dan untuk makluman Panti juga, Kerajaan Negeri Johor menerusi peruntukan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, satu peruntukan yang agak besar diperuntukkan kepada industri kecil ataupun IKS yang mana pada tahun 2024, pemberian khemah di setiap PBT dengan peruntukan sebanyak RM3 juta dan seringkali juga kita dengar rintihan yang menyatakan bantuan lambat disalurkan dan terlalu banyak borang atau kriteria yang perlu dipatuhi dengan mendapatkan bantuan awal, dan menerusi kewujudan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor, saya selaku EXCO yang bertanggungjawab sememangnya mahu memperkasakan lagi peranan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor ini, agar menghimpunkan sebanyak 49 agensi berkaitan keusahawanan, saya yakin dan percaya di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor, jabatan ataupun agensi yang menjadi ahli boleh membantu usahawan-usahawan terjejas ini menerusi beberapa jenis bantuan ataupun inisiatif-inisiatif antaranya pembaikan dan penggantian aset pinjaman mikro dan syarat khusus pengecualian dan penangguhan bayaran sewa dan bayaran tertentu, program latihan mahupun kaunseling dan juga geran pemulihan perniagaan semula.

Pada masa yang sama juga saya juga mengesyorkan agar prosedur pengesahan pemberian maklumat bantuan banjir dapat dikurangkan bagi mengatasi masalah-masalah kelewatan pemberian bantuan kepada mangsa bencana di Johor.

Selain itu, kerjasama strategik rentas agensi menawarkan bantuan khusus yang terjejas bencana perlu diturutkan dan diperkasakan agar maklumat dapat diselarikan dan dikongsikan. Dan, saya mewakili Perbadanan Usahawan mahupun Kerajaan Negeri Johor juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang membantu ataupun membantu PUJB mencari usahawan-usahawan melalui peruntukan yang telah diedarkan dan insya-Allah semua barang atau keperluan yang YB-YB senaraikan itu akan diedarkan selewat-lewatnya sehingga bulan Disember ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput... Pemanis nak tanya tambahan ke?

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Ah, Speaker nak tanya soalan tambahan.

Speaker

Ya, sila-sila.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker. Saya mendengar dengan teliti tadi jawapan daripada Yang Berhormat EXCO tentang bantuan yang akan diberikan kepada peniaga-peniaga yang terlibat dengan bencana banjir dan juga ribut ini. Kita pun amat memahami ada peniaga-peniaga ini selain daripada ribut, banjir dan sebagainya, ada juga yang terlibat dengan kebakaran, kecurian dan lain-lain. Adakah Kerajaan Negeri bercadang juga untuk memberikan program perlindungan dalam bentuk insurans? Disediakan satu pakej khas kepada peniaga-peniaga ini agar selain daripada bantuan kecemasan yang kerajaan boleh bagi, mereka boleh juga menerima bantuan-

bantuan daripada syarikat-syarikat insurans ataupun pakej-pakej perlindungan yang ada. Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Pemanis di atas soalan yang cukup baik, di atas ataupun keselamatan ketika kebakaran.

Dan untuk makluman Datuk Speaker, dari segi PERKESO sekiranya mendaftar di PERKESO di bawah program PERKESO, insya-Allah saya pasti ianya ada diberikan satu perlindungan keselamatan untuk individu mahupun perniagaan. Dan, saya mengharapkan semua usahawan-usahawan ataupun peniaga-peniaga yang berniaga tanpa lesen haruslah berdaftar di semua PBT-PBT agar tidak terlepas daripada apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan kerana kebanyakan rata-rata Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila kejadian banjir mahupun ribut ditimpa, kebanyakan permintaan permohonan itu tanpa ada lesen dan pelbagai syarat yang diberikan kepada PBT kepada apa tu peniaga. Cuma tu saya sarankan kepada usahawan-usahawan mahupun penjaja-penjaja kecil berdaftar di PBT agar PBT dapat merekodkan setiap daftar bukti daftar yang ada di negeri Johor. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kempas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 7.

Apakah perancangan baru kerajaan dalam membantu menyediakan kelengkapan pembelajaran yang ekslusif kepada anak-anak di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kempas. Soalan yang diajukan kepada saya adalah apakah perancangan baru kerajaan dalam membantu menyediakan kelengkapan pembelajaran yang ekslusif kepada anak-anak di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan dan mendayaupayakan golongan orang kelainan upaya. Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti atau PKPDK merupakan satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk golongan OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat dengan memberi peluang kepada OKU mengecapi peluang sama rata dan berinteraksi dalam masyarakat.

Program ini menggalakkan penglibatan aktif oleh OKU, ibu bapa, keluarga, penjaga dan masyarakat setempat dengan memaksimumkan penggunaan sumber tempatan yang sedia ada dalam komuniti.

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat kini dalam proses penambahbaikan garis panduan pengurusan. Program pemulihan dalam komuniti dalam usaha memastikan pelatih-pelatih di PDK dapat menikmatii pembelajaran berdasarkan kepada ketidakupayaan masing-masing.

Penambahbaikan garis panduan ini merangkumi perkara seperti berikut :-

1. Aktiviti pengurusan diri mereka sendiri. 2. Kemahiran motor kasar dan motor halus. 3. Perkembangan pertuturan. 4. 3M - Membaca, menulis dan mengira.

5. Muzik. 6. Kemahiran pra vokasional. 7. Program pemulihan fisioterapi. 8. Pembangunan sukan, kebudayaan dan rekreasi. 9. Sosialisasi.

Datuk Speaker, pada masa yang sama pelbagai perancangan program yang dilaksanakan oleh PDK mengikut keperluan pelatih setempat dilaksanakan mengikut peruntukan kewangan yang telah diagihkan kepada setiap PDK.

Program pemulihan yang diadakan di PDK adalah bertujuan melengkapkan pelatihnya dengan kemahiran-kemahiran yang tertentu bagi membantu mereka mencapai perkembangan yang menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani dan jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial, agar mereka boleh menjadi satu ahli masyarakat yang mampu berdikari.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bahawa PDK ini adalah satu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta 1996, oleh itu Jabatan Kebajikan Masyarakat juga amat menggalakkan PDK ini berkolaborasi dengan agensi swasta atau syarikat-syarikat yang boleh membantu untuk menambah baik dan seterusnya memberi sumbangan dalam menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang ekslusif kepada pelatih PDK.

Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor juga telah menyalurkan peruntukan bagi penambahbaikan fisikal PKPDK di negeri Johor bagi memastikan premis PKPDK ini dalam keadaan yang selamat untuk diduduki dan memastikan persekitaran yang kondusif kepada pelatih PDK semasa mendapatkan latihan.

Antara kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan bagi kemudahan di PKPDK adalah mengubah suai tandas sedia ada kepada tanda mesra OKU, menambah baik bilik pemulihan sedia ada kepada bilik yang lebih kondusif untuk sesi pemulihan OKU dan penambahbaikan infrastruktur bangunan sedia ada ke arah mesra OKU.

Menambah baik bilik pemulihan sedia ada kepada bilik yang lebih kondusif untuk sesi pemulihan OKU dan penambahbaikan infrastruktur bangunan sedia ada ke arah mesra OKU. Bermula tahun 2017 hingga tahun 2024, Kerajaan Negeri Johor telah memberi peruntukan pembaikan kepada sebanyak 94 buah PKPDK dengan keseluruhan kos sebanyak RM7,055,350.00.

Datuk Speaker dan Dewan yang mulia ini, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah memperuntukkan sebanyak RM300,000.00 bagi Program Pemulihan dan Kemahiran Pelatih OKU di PDK-PDK Negeri Johor. Program ini adalah projek rintis yang akan memberi peluang kepada 200 OKU untuk memperkukuh kemahiran fizikal, pertuturan dan kehidupan seharian mereka di Pusat Kebajikan Pemilihan Dalam Komuniti. Kami juga memperkenalkan modul terapi bagi pelatih PDK di Pusat PDK Johor. Dua siri terapi berbeza akan dilaksanakan untuk memastikan setiap pelatih dapat mengusai kemahiran asas dan meningkatkan keupayaan functional mereka. Ini adalah usaha untuk memperbaiki kualiti hidup Orang Kelainan Upaya melalui terapi yang disesuaikan dengan keperluan mereka.

Bagi meningkatkan peluang OKU dalam pasaran pekerjaan pula, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM110,000.00 untuk Program Disability Equality Training dan Kursus Asas Job Coach yang dilaksanakan bersama majikan untuk OKU dibantu memasuki dan bertahan dalam dunia pekerjaan. Iaitu, satu program yang mensasarkan lebih ramai petugas PDK dan institusi OKU dihantar latihan bagi melatih pelatih-pelatih ini berupaya untuk bekerja di pasaran luar. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya jemput Kempas.

Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang telah memberikan jawapan. Soalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai menyokong usaha kerajaan adakah terdapat cadangan penukaran skim elaun kepada gaji petugas dan penyelia dan adakah bayaran petugas PDK ini akan dinaikkan mengikut penetapan gaji minimum masa kini? Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker, satu soalan yang amat baik. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih di negeri Johor. Pada pembentangan Bajet tahun 2021, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia dan petugas PDK. Sehubungan itu, mulai Mac 2021 kadar sagu hati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200.00 sebulan kepada RM1,500.00 sebulan. Sementara elaun yang diterima petugas pula, adalah sebanyak RM1,200.00 sebulan berbanding RM800.00 sebelum ini. Di negeri Johor juga pula Yang Berhormat Datuk Speaker, mulai tahun 2015 setiap penyelia dan petugas telah menerima elaun tambahan dari Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM200.00 sebulan bagi setiap penyelia dan petugas. Oleh itu, jumlah keseluruhan elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,700.00 sebulan dan petugas adalah sebanyak RM1,400.00 sebulan. Berbanding dengan negeri-negeri lain yang mana mereka hanya menerima sagu hati sebanyak RM1,200.00 bagi petugas dan RM1,500.00 bagi penyelia. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bahawa hanya Kerajaan Negeri Johor sahaja yang memperuntukkan tambahan elaun kepada penyelia dan petugas PDK di seluruh negeri Johor.

Datuk Speaker, pertubuhan kebajikan ini adalah di bawah pertubuhan yang melaksanakan program PDK dan didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1996 yang mempunyai entiti perundangannya sendiri dan adalah berbeza dengan kerajaan. Secara amnya, pertubuhan ini bebas untuk mentadbir mengikut perlembagaannya, penetapan waktu bekerja dan elaun tambahan yang difikirkan sesuai. Dimaklumkan juga bahawa penyelia dan petugas PDK dilantik oleh Jawatankuasa Pertubuhan dan bertugas secara sukarela di pusat PDK atau di rumah. Jadi, bagi menghargai penglibatan penyelia dan petugas sebagai sukarelawan di bawah seliaan pertubuhan dalam menjayakan program PDK ini, elaun dibayar pada mereka berdasarkan kepada peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan. Ini bermakna mereka tidak terikat dengan gaji minimum sebagai seorang pekerja.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bahawa Pertubuhan boleh membuat penetapan mengenai bayaran tambahan pada penyelia dan petugas. PDK bergantung kepada kaedah pengambilan penyelia dan petugas oleh pertubuhan itu sendiri sama ada secara contract of service atau secara contract for service, dengan izin. Datuk, bagi contract of service bermakna seorang itu dibayar untuk melakukan satu tugasan dan tiada syarat perkhidmatan ditetapkan. Manakala, contract for service dengan izin, ialah pertubuhan sebagai majikan pada penyelia dan petugas tersebut. Penyelia dan petugas pula bertugas sebagai pekerja, sebagai majikan pertubuhan boleh membuat apa-apa penetapan mengenai apa-apa syarat perkhidmatan mengenai tempoh bekerja dan tambahan elaun lain yang difikirkan sesuai. Terima kasih, Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan No. 8. Apakah langkah kerajaan di dalam mempromosi makanan tradisional dan hasil kraftangan negeri Johor agar menjadi satu daya tarikan pelancongan negeri Johor?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Yang Berhormat

Datuk Speaker. Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor merupakan sebuah agensi badan berkanun yang sedang giat melaksanakan program untuk memelihara warisan seni dan budaya negeri Johor. Pelbagai aktiviti serta program dilaksanakan dan dirancang supaya masyarakat terutamanya negeri Johor sedar akan usaha Yayasan Warisan Johor. Program-program yang dirancang juga adalah ke arah mempromosi Tahun Melawat Johor Ke- 2026.

Pewujudan galeri dan muzium di bawah kelolaan Yayasan Warisan Johor adalah merupakan usaha untuk mempromosi bahan-bahan berkaitan seni warisan budaya serta hasil kraf tangan negeri Johor. Galeri Tenun Johor merupakan salah satu galeri di bawah kelolaan Yayasan Warisan Johor yang mempamerkan serta menghasilkan produk kain benang Johor iaitu salah satu produk kraf tangan yang beridentitikan negeri Johor. Galeri yang terletak di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar mempamerkan serta mempromosikan kraf tangan tekstil Johor melalui penjualan produk ini. Selain daripada mempamerkan masyarakat juga boleh membeli produk ini melalui pembelian siap serta tempahan.

Sebanyak 873 helai kain benang Johor telah dihasilkan sejak tahun 2018 hingga Oktober 2024. Terdapat 8 orang penenun yang terdiri daripada anak-anak muda yang menghasilkan produk kain benang Johor. Jumlah pengunjung di Galeri Tenun Johor juga telah mencapai peningkatan yang memberangsangkan dari tahun 2022 dengan hanya menerima sejumlah 7,257 kepada 14,660 orang pengunjung sehingga bulan Oktober 2024. Ini menjadikan Galeri Tenun Johor adalah tempat pelancongan yang perlu dilawati oleh pelancong yang akan datang ke negeri Johor. Selain itu, Yayasan Warisan Johor juga sedang giat menjalankan program untuk pencarian bakat serta tenaga mahir dalam bidang tenunan. Program Perintis Seni Johor adalah salah satu program yang baharu yang akan diperkenalkan pada tahun 2025 bagi mencari bakat-bakat anak muda yang berminat untuk mempelajari tenunan. Program ini dilaksanakan selama 3 bulan atau 12 minggu, berdasarkan modul yang disediakan oleh jabatan dalam bentuk latihan asas kepada pengenalan dan penghasilan produk tenunan berkaitan kain benang johor. Program ini mensasarkan 20 orang belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak berminat untuk menyambung pelajaran namun berminat untuk memberikan tumpuan dalam bidang kraf tangan. Melalui inisiatif ini Kerajaan Negeri dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Johor.

Selain itu, Yayasan Warisan Johor juga tidak hanya akan tertumpu kepada program latihan masa pendek melalui Perintis Seni Johor bagi melahirkan lebih ramai penggiat atau penenun yang berpotensi menghasilkan produk kraf tangan negeri ini. Namun, ia akan dikembangkan lagi dengan Program Pengembara Kerjaya melalui kolaborasi bersama Institut Kraf Negara bagi melahirkan tenaga kerja yang pakar dalam bidang tenunan di negeri selain dapat melahirkan Adiguru Kraf di masa akan datang. Melalui program yang dirancang oleh Yayasan Warisan Johor dari semasa ke semasa, ia dijangka akan menarik minat anak-anak muda untuk mempelajari tenunan dengan lebih mendalam serta mampu memperbanyakkan produk hasil kraf bagi memenuhi permintaan pelancong dan pengunjung di Galeri Tenun Johor.

Sementara itu, penghasilan produk yang beridentitikan negeri Johor juga sangat penting bagi negeri ini agar dapat dikenali dan dipasarkan dengan lebih meluas. Penghasilan produk kraf tangan yang dihasilkan secara eksklusif di Galeri Tenun Johor sering dijadikan cenderamata rasmi atau cenderamata kepada tetamu dalam dan luar negara. Ia secara tidak langsung mempromosi produk takrifan tempatan negeri Johor yang unik dan istimewa ini. Cenderamata yang dihasilkan ini tidak hanya dalam pemakaian kain seperti samping, sarung atau selendang sahaja ia juga diinovasikan dalam bentuk frame, tali leher, beg tangan dan pelbagai produk perhiasan rumah dan sebagainya. Yayasan juga akan turut menyokong penghasilan produk kain benang Johor kepada The Johor Collection untuk memberi kepelbagaian dalam produk kraf tangan untuk cenderamata kenang-kenangan untuk pengunjung tempatan dan pelancong setelah melawat ke negeri Johor.

Selain itu, Yayasan Warisan Johor juga giat melaksanakan pameran-pameran luar daerah dan luar negeri Johor bagi mempromosi pembuatan serta hasil produk. Yayasan Warisan Johor juga sedang dalam usaha menggalakkan pemakaian kain benang Johor melalui penjualan produk mampu milik yang akan dilaksanakan pada tahun 2025. Perancangan penghasilan produk kain benang Johor dengan pengeluaran besar-besaran ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat umum membeli dengan harga mampu milik. Promosi produk kain benang Johor mendapat sokongan daripada Jabatan Kraf tangan Negara Cawangan Johor dengan penyertaan dalam Festival Kraf tangan Negara. Selain itu, melalui program kerjasama bersama Jabatan Muzium Malaysia pelbagai program outreach seperti Nostalgia Anak Kampung dilaksanakan bagi mempromosi Sajian Warisan Johor daripada berbagai kaum dengan latar kehidupan yang unik dan berbeza. Akhir kata, makanan tradisi dan kraf tangan bukan sahaja daya tarikan pelancong tetapi ia juga satu intipati Bangsa Johor kita hargai. Terima kasih.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Terima kasih pada EXCO yang bagi jawapan yang begitu jelas. Yang Berhormat Datuk Speaker, di negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, mereka mempunyai Pasar Payang, Pasar Khadijah dan Pasar Malam Pulau Pinang dan juga Jonker Walk dan pasar-pasar ini telah menjadi daya tarikan pelancong di mana terdapat makanan dan kuih muih tradisi dan juga kraf tangan negeri tersebut dijual. Soalan saya, adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk mewujudkan pasar seperti itu sebagai platform mempromosi budaya makanan tradisi Johor seperti botok-botok, kacang pool, burasak, pisang salai dan pelbagai lagi sekali gus menjadi ikon dan daya tarikan pelancong luar ataupun melalui konsep Bangsa Johor lain yang kita boleh mempersembahkan melalui makanan? Terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih YB Penggaram. Yang Berhormat Penggaram telah menanyakan mengenai makanan-makanan tradisional yang boleh diadakan dalam kriteria pemasaran dari segi tempat yang boleh dilancarkan. Melalui Yayasan Warisan Johor kita selalu membuat program-program mempromosi makanan-makanan tempatan khususnya program seperti Sajian Warisan Johor. Program yang mempromosikan sajian daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Melalui pendekatan program seperti sajian warisan ia akan ketengahkan identiti makanan, makanan identiti Bangsa Johor sebagai contoh, masakan ayam kam heong dan dumpling untuk masakan Cina, masakan idli dan tosai untuk masakan India, bubur sum sum dan telor pindang untuk masakan Melayu. Namun demikian, program sahaja tidak mencukupi, saya bersetuju dengan apa yang dipandangkan oleh Yang Berhormat Penggaram kita perlukan adakan tempat. Biasanya dalam program-program yang besar-besaran di daerah-daerah biasanya ada makanan-makanan tempatan. Mungkin Yayasan Warisan Johor dan juga ini kita akan berbincang dengan EXCO Kerajaan Tempatan. Mungkin boleh disediakan tempat untuk tahun 2026. Mungkin kita ada boleh adakan tempat yang boleh dikhususkan untuk penjaja-penjaja pembuat pembuatan makanan tempatan. Terima kasih.

Speaker

Sekarang ini masalahnya anak-anak muda Yang Berhormat, mereka suka makanan-makanan Jepun dan Korea, sampai saya pun terpengaruh juga sebab anak-anak saya yang mempengaruhi saya. Sebab itu, kalau kita tengok di tepi-tepi jalan sekarang ni, gerai-gerai pun jual tako dan sebagainya. Dan ini sebenarnya punca kenapa makanan-makanan tradisi kita pula yang jadi kurang popular. Ok, saya jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Simpang Jeram nombor 9.

Sejauh manakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memperluaskan kawasan tanaman padi negara di Negeri Johor.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang soalan nombor 10.

Bilakah kerajaan akan memulakan usaha pertambahan perluasan kawasan sawah Sungai Balang bagi menambah pengeluaran padi beras untuk stok makanan negeri dan negara demi menjamin keselamatan makanan dalam menghadapi ketidak tentuan cuaca dan geopolitik dunia mutakhir ini.

Speaker

Sila.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Simpang Jeram, terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang. Yang kedua-duanya bertanyakan berkenaan tanaman padi di Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor adalah kawasan pengeluaran padi kawasan luar jelapang, walau bagaimanapun ia tetap menjadi fokus Kerajaan Negeri dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran sawah padi dari semasa ke semasa. Keluaran dan pengeluaran tanaman padi di Johor adalah kecil dengan luas skim 2,254.39 hektar atau hanya 0.8 peratus sahaja berbanding keluasan pasel padi seluruh negara iaitu 280,208 hektar. Negeri Johor mempunyai 10 kawasan tanaman sawah padi luar jelapang yang berjumlah 2,254.39 hektar melibatkan lebih kurang 900 pesawah iaitu daerah Tangkak, lima sawah dengan keluasan 842.97 hektar; daerah Muar, satu sawah dengan keluasan 364.22 hektar; Mersing ada dua sawah melibatkan keluasan 549.38 hektar; Batu Pahat, satu sawah dengan keluasan 141.7 hektar; manakala Kluang, satu sawah melibatkan keluasan 356.12 hektar.

Untuk rekod keluasan bertanam padi di negeri Johor pada musim utama 2023 dan 2024 adalah 1,393 hektar berbanding 1,444 hektar pada musim utama 2022 dan 2023. Ia menunjukkan penurunan hasil kerana sawah, Kahang, Kluang seluas 38 hektar ini tidak bertanam disebabkan sedang dalam pelaksanaan kerja-kerja perataan dan baik pulih infra. Walau bagaimanapun, hasil pengeluaran bagi musim utama 2023 dan 2024 menunjukkan peningkatan berbanding musim 2022, 2023 iaitu sebanyak 6,415 metrik tan dengan purata hasil 4.605 metrik per hektar berbanding tahun 2023, 5,581 metrik tan dengan purata hasil 3.865 metrik tan per hektar iaitu peningkatan 14.9 peratus hasil pengeluaran dan peningkatan 19.2 peratus hasil padi.

Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Pertanian telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.9 juta bagi pembangunan sawah padi di Johor. Ia merangkumi pelaksanaan insentif termasuklah bagi bantuan input, teknologi mekanisasi jentera, menaik taraf struktur dan infrastrukur dan kerja-kerja pengurusan sawah. Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Balang, sawah Sungai Balang adalah antara sawah yang mendapat peruntukan pembangunan yang terbesar untuk tahun 2024 iaitu sebanyak RM1.1 juta. Antaranya seperti membekal mini combine harvestor, membekal traktor empat roda, membina bengkel operasi jentera dan semaian, membekal dron semaian benih padi transplanter dan sebagainya. Peruntukan ini adalah bagi pelaksanaan program-program bagi meningkatkan produktiviti sawah padi. Negeri Johor mensasarkan sasaran peningkatan daripada tiga hingga 5 tan per hektar pada masa kini kepada 6 tan per hektar pada musim akan datang.

Sebagaimana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ketika Belanjawan 2025, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembangunan sawah padi di Johor. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa bersama dengan

langkah Kerajaan Persekutuan untuk mencari peluang menambah keluasan dan meningkatkan pengeluaran padi negeri ini. Di antara tindakan yang diambil Kerajaan Negeri Johor bagi memperluaskan kawasan tanaman padi di negeri ini adalah seperti peruntukan sebanyak RM613,000.00 untuk pembukaan kawasan tanaman padi baharu di Sawah Kahang, Kluang yang akan memulakan penanaman padi seawal tahun 2025.

Yang kedua, penambahan keluasan tanah sawah baharu seluas 50 hektar pada tahun 2025 di tanah kerajaan bagi tujuan pertanian padi di PTD 12158 Mukim Sungai Balang, Muar. Kerja pembersihan kawasan dan pembangunan infrastruktur akan dimulakan sebaik sahaja urusan permohonan tanah tersebut diluluskan oleh PTD Daerah Muar dan PTG Johor. Usaha-usaha ini dijangka akan dapat menambah keluasan bertanam dan seterusnya menambah keluaran padi negeri dan negara. Untuk makluman, Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai cadangan pewujudan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Wilayah Selatan yang melibatkan penggabungan pengurusan sawah antara tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Cadangan ini juga merupakan satu proses transformasi sektor agro makanan secara terancang, bersepadu dan menyeluruh dalam pembangunan sawah padi di wilayah selatan. Ia dijangka dapat menambah pengendalian sawah yang lebih holistik dari aspek penggunaan teknologi, kebajikan pesawah serta sistem pengurusan tanaman, infrastruktur penuaian serta pemasaran hasil yang lebih tersusun dan efektif, seterusnya meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.

Untuk status semasa Yang Berhormat Datuk Speaker, pihak PLANMalaysia telah merangka cadangan mengenai perkara tersebut atas tajuk Pelaksanaan Inisiatif Baharu Bagi Memantapkan dan Memelihara Kawasan Penanaman Padi Wilayah Selatan atau Southern Rice Bowl. Pihak Kerajaan Negeri juga sedang menunggu proses kelulusan selanjutnya oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Maharani.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 11.

Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk meneruskan Program Semarak Subuh di Negeri Johor pada tahun 2025, yang mana program ini mendapat sambutan baik dalam masyarakat?

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Maharani bertanya tentang apakah perancangan untuk Program Semarak Subuh diteruskan pada tahun hadapan yang mana program ini mendapat sambutan yang baik.

Datuk Speaker, memang benar Semarak Subuh menjadi salah satu program yang menjadi sebutan ramai pada kali ini. Dan ia menggambarkan kesungguhan kita untuk mengingati kembali hadis Rasullah SAW bila mana Nabi sendiri mendoakan kita Datuk Speaker. Apa yang Nabi sebut dalam hadis Baginda (bacaan hadis), Nabi doakan kita tuan-tuan, puan-puan, ‘Ya Allah berkatilah umatku di pagi hari’. Maka sebab itu Kerajaan Johor, Maju Johor. Kita nak maju secara fizikal dan juga spiritual. Maka antara pengisian kita Datuk Speaker adalah Semarak Subuh. Semarak Subuh mula tahun ini membuka ruang kepada semua ADUN dan Penyelaras DUN untuk hadir ke 2,734 buah masjid, surau seluruh negeri.

Saya dah cakap semalam, Johor punyai masjid, surau paling banyak dalam Malaysia dan kita buktikan dalam tempoh setahun, Alhamdulillah, ADUN kita, Penyelaras DUN dapat sampai ke setiap masjid, surau dalam Johor ini. Apa kesan baiknya Datuk Speaker? Kesan baiknya, seawal tahun lepas, tahun ini kita pernah juga mencatatkan satu sejarah besar pada 17 Januari, awal tahun di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, jemaah subuh

paling ramai dicatatkan, 12,000 jemaah subuh, subuhnya buat dua kali sebab tak muat Datuk Speaker. Itu dia punya kesungguhan dia dan diteruskan pada tahun lepas semua ADUN dimulakan dengan peruntukan RM10,000.00, kemudian Menteri Besar tambah RM15,000.00. RM25,000.00 tahun ini untuk sekali pelaksanaan. Sebab sambutannya baik, ADUN-ADUN, Penyelaras DUN buat dengan baik, tahun depan ini, Kerajaan Johor dengan MAINJ (Majlis Agama Islam Negeri) Johor kongsi dana, seorang RM1.8 juta Datuk Speaker.

Kita mohon kerjasama semua ADUN, Penyelaras DUN untuk gerakkan seminggu dua kali. Kenapa seminggu dua kali Datuk Speaker? Sebab tahun ini sahaja menggambarkan bahawa dengan Semarak Subuh bukan sahaja boleh buat solat subuh berjemaah, sujud sejadah, surah kahfi, selawat tafrijiyah, tazkirah, sarapan sama-sama. Saya dengar ada yang pagi-pagi dah ada gear box Datuk Speaker. Nasib baik kolesterolnya tidak tinggi. Tapi berkat kita makan sama-sama, rupa-rupanya kolesterol pun takut Datuk Speaker. Maka kita buat sama-sama, tahun ini, tahun depan ditambahkan peruntukan untuk Bajet 2025 dan saya juga dapat makluman Semarak Subuh ni jadi pusat pengumpulan aduan. Wakil Rakyat mula-mula macam takut. Sebab itulah hari paling menakutkan, sebab paling banyak surat cinta dibekalkan. Tapi bulan demi bulan, kita punya ADUN, Penyelaras DUN dah jadi biasa. Alah bisa tegal biasa. Bahkan itulah waktunya. Rakyat melihat bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar meminta semua ADUNnya supaya berjumpa dengan rakyat tanpa protokol. Lepas subuh, nak protokol apa, masing-masing yang lelaki kain gombang Datuk Speaker, yang perempuan masih dengan dia punya telekungnya, meraikan permohonan dan mendengar perihal rakyat.

Maka sebab itulah Kerajaan Johor melalui Menteri Besar dan MAINJ kita bersetuju tahun depan gandakan peruntukannya dan seminggu dua kali. Orang tanya, YB Maharani dua kali tu bila.Kita mencadangkan Datuk Speaker ambil keberkatan Jumaat jangan tinggal. Walaupun Jumaat kerja tahun depan, tapi hari Jumaat, Semarak Subuh kekal cuma diringkaskan sikit sebab yang nak pergi kerja, YB pun nak masuk pejabat ya, anak-anak pun nak sekolah, ringkas tapi berkesan. Hari yang lain boleh pilih, hari Sabtu pun boleh. EXCO Kerajaan Johor, Menteri Besar tahun ni pun dah mula dua kali. EXCO kerajaan, hari Jumaat memang buat. Hari Rabu kami buat di Johor Bahru, hari Rabu Datuk Speaker. Syukur Alhamdulillah, Menteri Besar dan semua EXCO bukan saja solat subuh berjemaah, saya juga buat kelas tahsin qiraat. Ni, kalau ditanya Dato’ Jafni ni berdengung-dengung dia punya bacaan al-Qurannya, belum lagi YB Aznan ya. Dah makin baik bacaannya, Alhamdulillah.

Kita Datuk Speaker, kita gembira sebab ini antara syiar yang kita semarakkan dan akhirnya ada hadis daripada Riwayat Abu Daud yang sebut, ‘berilah berita gembira kepada orang yang pejalan kaki membelah kegelapan malam menuju ke masjid-masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat’. Mudah-mudahan keberkatan Semarak Subuh antara pengisian kita yang mendapat keberkatan Allah SWT. Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih YB Maharani.

Speaker

Maharani ada tambah?

Tambah sedikit. Terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih kepada EXCO yang telahpun memberikan penjelasan. Soalan tambahan saya, bagaimanakah cara untuk memperkasakan lagi kehadiran daripada wakil-wakil jabatan supaya dapat konsisten untuk hadir dalam Program Semarak Subuh. Tambah-tambahan lagi untuk masa akan datang ini dua kali seminggu. Insya-Allah. Terima kasih.

Speaker

Jemput bersama selebriti Yang Berhormat.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih YB Maharani. Betul Datuk Speaker, Kerajaan Johor pun ubah cuti sebab nak biar lebih masa dengan family. Tadi kita pun tahu keperluannya. Maka tanggungjawab untuk kita hadir Semarak Subuh ini bukan hanya kepada Wakil Rakyat, kepada juga semua Ketua-Ketua Jabatan sebab kalau

ada rakyat yang bertanya pasal aduan, Wakil Rakyat boleh minta Ketua Jabatan untuk bantu jawabkan pada waktu itu juga, itu semangat awal. Dan kita terus menggalakkan YB Maharani bahawa semua Ketua Jabatan, kalau tak dapat bosnya itu, kita minta pegawainya hadir, dan jika tidak dapat hadir, YB Maharani kita boleh buat perkiraan. Aduan yang kita terima sebagai Wakil Rakyat kita tulis surat semula kepada semua jabatan ini, sebab kadang-kadang kita minta mereka datang, mereka juga ada urusan tertentu. Kita pun kena faham juga. Dan kita, Kerajaan Negeri faham tapi jangan culas. Tak dapat datang Datuk Speaker, kena ada alternatifnya. Rujuk dengan Wakil Rakyat tersebut, YB minggu ini apa aduan rakyat, saya kira begitu baik. Jangan suruh Wakil Rakyat yang asyik hantar surat kepada Pejabat Daerah, pejabat agensi kerajaan yang lain, cuba buatkan inisiatif dan saya kira kita akan cuba selaraskan Datuk Speaker bahawa ada komunikasi ini supaya Wakil Rakyat pun tak rasa terbeban. Kita aja yang kena terima aduan sedangkan jabatan kerajaan kita ada kaedah menyalurkan balik maklumat itu menerusi aduan yang wakil rakyat terima pada setiap sesi-sesi Semarak Subuh. Terima kasih YB Datuk Speaker, terima kasih YB Maharani.

Speaker

Oleh kerana isu ini jarang saya dengar dibangkitkan, maka saya benarkan satu lagi soalan daripada Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Dadah merupakan ancaman besar yang mampu menggugat kebahagiaan keluarga di negeri Johor dan boleh menjejaskan perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri Maju menjelang 2030. Apakah usaha atau tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini. Sekiranya ada, apakah pencapaian terkini terhadap usaha ini?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih YB Datuk Speaker. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor kepada seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada Pulai Sebatang kerana menanya tentang ancaman dadah. Mungkin Yang Berhormat Pulai Sebatang tanya, mungkin Yang Berhormat pernah mengikuti saya dan juga AADK menjalankan aktiviti penguatkuasaan walaupun tengah malam sehingga pagi subuh untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan tersebut. Tahniah dan saya ucapkan kepada YB Pulai Sebatang.

Kerajaan Negeri Johor komited mengambil langkah yang tegas dalam menangani isu membanteras ancaman dadah di negeri Johor. Kerajaan Negeri Johor telah memastikan segala bentuk sokongan dari segi kewangan, logistik dan kerjasama antara jabatan dan agensi diberikan untuk membantu AADK dalam pelaksanaan program pemulihan, pencegahan dan penguatkuasaan. Kerajaan Negeri Johor telah menyalurkan sebanyak RM1.1 juta di bawah peruntukan Belanjawan Johor 2024 dalam Teras ketiga - Agenda Maju Johor yang memberi fokus berkaitan jaringan keselamatan sosial. Strategi ketiga di bawah Teras ini ialah meningkatkan kualiti kesihatan Bangsa Johor melalui inisiatif keempat iaitu peruntukan diberikan bagi tujuan perlaksanaan menghijaukan 17 kawasan berisiko tinggi.

Penagihan dadah bagi mencapai misi Bangsa Johor bebas dadah seterusnya mencapai misi Dadah Terkawal 2025. Dimaklumkan bahawa sehingga Oktober 2024 daripada 17 kawasan berisiko tinggi (KBT) di negeri Johor, sebanyak 16 kawasan dilaporkan telah mendapat status hijau iaitu menjadi kawasan berisiko rendah dan hanya satu lagi kawasan masih lagi berstatus kuning yang memerlukan usaha lebih keras ke arah berstatus kawasan berisiko rendah. Kawasan berisiko tinggi, penagihan dadah yang telah menjadi kawasan berisiko rendah, yang selamat untuk masyarakat iaitu mukim Pulai, mukim Sungai Tiram, mukim Bandar Johor Bahru, mukim Kulai, mukim Mersing, mukim Simpang Kiri, mukim Simpang Kanan, mukim Parit Sulong, mukim Api-Api, mukim Pontian, mukim Ayer Baloi, mukim Jabi, mukim Pagoh, mukim Sungai Segamat dan juga mukim Parit Bakar dan terakhir mukim Bandar Muar. Saya ucap, saya ambil kesempatan ini ucap terima kasih kepada para ADUN

kerana selama ini memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak AADK. Manakala, di Mukim Plentong yang masih berstatus kuning, segala usaha dan strategi terus digerakkan dengan lebih gigih lagi untuk menjadikan kawasan berisiko tinggi bertukar menjadi kawasan berisiko rendah.

Datuk Speaker, aktiviti pelaksanaan Program Inisiatif Dadah Terkawal 2025 di negeri Johor yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 adalah seperti berikut : Program Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD) merupakan program inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi membendung isu penyalahgunaan dadah dan bahan yang berlaku di negeri Johor. Program ini dilaksanakan selaras program pengurangan kawasan berisiko tinggi yang dilaksanakan peringkat persekutuan. 34 siri dengan peruntukan sebanyak RM680,000.00.

Program Orang Muda Johor (OMJ) Bebas Dadah. Program ini juga bermatlamat untuk memberi kemahiran dan pengetahuan kepada remaja dan belia di negeri Johor untuk menangkis keinginan dan keterlibatan dalam pemasalahan dadah serta pelencongan sosial. Program ini dilaksanakan kepada belia dengan strategi perlaksanaan secara umum, selektif dan berfokus nilai peruntukan sebanyak RM300,000.00.

Bengkel Train of Trainer (TOT) Komuniti Madani. Program ini bermatlamat untuk memberi kemahiran dan pengetahuan kepada penggerak komuniti dalam melaksanakan tindakan dan usaha mencegah penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial dalam lokaliti. Memupuk semangat kesukarelawan ahli komuniti dalam daya upaya dan pemilikhakkan atau pun ownership, dengan izin peranan komuniti bagi mengekalkan kesejahteraan hidup rakyat, nilai peruntukan sebanyak RM150,000.00. Jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima adalah sebanyak RM1.1 juta bagi tahun 2024. Impak pelaksanaan program di kawasan berisiko tinggi ialah meningkatkan fokus perlindungan dan mengurangkan faktor risiko dalam komuniti. Meningkatkan perkhidmatan rawatan pemulihan dalam komuniti. Meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti setempat serta agensi pelaksana sebagai perancang, penggerak dan pemilikhakkan dalam setiap program dan aktiviti pendidikan pencegahan, dadah serta tahap kesediaan komuniti meningkat dalam usaha membantu kerajaan memerangi ancaman dadah.

Terdapat juga peruntukan dari kerajaan persekutuan berjumlah RM275,362.00 yang diberikan kepada AADK negeri Johor untuk melaksanakan program-program pendidikan pencegahan dadah dalam negeri Johor. Peruntukan tersebut digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti program pendidikan pencegahan dadah yang meliputi empat kumpulan sasar iaitu institusi keluarga bebas dadah, institusi pendidikan bebas dadah, komuniti bebas dadah dan juga tempat kerja bebas dadah. Ia merupakan strategi bagi mencapai dadah terkawal 2025. Fokus isu dalam program penghijauan kawasan berisiko tinggi, penagihan dadah adalah menangani penyalahgunaan dadah dan bahan serta pelencongan sosial dilaksanakan secara kolaboratif bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Segala usaha, strategi dan pelaksanaan program berkaitan menangani ancaman dadah di negeri Johor adalah melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri dan daerah. Kolaborasi yang kukuh dengan penglibatan secara bersepadu antara agensi, jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan yang merupakan rakan pintar dan rakan strategi AADK dalam menangani masalah berkaitan penagihan ditangani secara serius dan berintegriti. Komitmen pemimpin dan kolaborasi antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam usaha mencapai matlamat dadah terkawal negeri Johor. Agensi Anti Dadah Kebangsaan negeri Johor ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas peruntukan sebanyak RM240,000.00 untuk meneruskan Inisiatif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi, Penagihan Dadah dalam Belanjawan Tahun 2025, di bawah Teras ketiga, Jaringan keselamatan sosial dalam inisiatif lima puluh satu, Program Penghijauan 17 KBT penagihan dadah. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih YB Datuk Speaker. Terima kasih, alhamdulilah. Terima kasih YB EXCO. Walaupun tadi baca dengan laju, saya gembira apabila saya dengar ketiga-tiga kawasan berisiko tinggi dalam DUN Pulai Sebatang dah bertukar hijau. Terima kasih banyak dan tahniah juga kepada Polis Johor yang telah merampas dadah sebanyak RM24 juta pada baru-baru ini. Jadi soalan saya, kes penagihan dadah ini kita tahu dia sentiasa berulang. Orang yang sama dan orang yang sama. Adakah Kerajaan Negeri buat satu kursus atau pun kaunseling khas bukan hanya kepada penagih dadah tapi kepada keluarga atau pun waris penagih dadah tersebut untuk kita membantu dalam kita mengurangkan risiko berulangnya penagihan ini. Terima kasih YB Datuk Speaker.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih YB Datuk Speaker, terima kasih Pulai Sebatang atas soalan tambahan tadi. Dalam proses rawatan atau pun pemulihan kepada penagih, elemen kekeluargaan atau pun sokongan daripada ahli keluarga adalah satu elemen yang penting. Oleh itu, AADK sentiasa adakan sesi libat urus atau pun hari keluarga atau pun apa ni masa kaunseling bersama dengan ahli keluarga atau pun waris penagih. Mudah-mudahan dengan peruntukan yang ada pada tahun hadapan kita akan kerapkan aktiviti tersebut. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat jika sekiranya ada soalan-soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Saya tangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 11.35 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.25 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.35 pagi.

YB Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 Tahun 2024.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 Tahun 2024. Saya mohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan. Esok kita akan mula mendengar jawapan penggulungan daripada pihak kerajaan atas perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat suka saya mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112 (2). Maka perbahasan atas rundingan itu hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana yang tersebut dalam Rang Undang-Undang ini. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya jemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada Penawar mewakili rakyat DUN Penawar untuk membahaskan Belanjawan negeri Johor bagi tahun 2025. Sebelum memulakan perbahasan, Penawar ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Setinggi-tinggi tahniah buat Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Negeri Johor 2025 tempoh hari. Dengan tema Maju Johor, Rakyat Sejahtera, bajet yang baru beberapa hari dibentangkan ini

bersifat inklusif meliputi segenap lapisan masyarakat. Tiada yang tertinggal dengan izin, no one left behind. Selain itu, bajet ini juga bagi saya merupakan bajet masa depan kerana menitik beratkan masa depan untuk Johor 5 dan 10 tahun yang mendatang. Penawar yakin dan pasti negeri Johor akan terus bertambah maju dan makmur terutama dari aspek ekonomi, kebajikan dan sosio-ekonomi rakyat.

Sebelum itu, sebagai hamba-hambanya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama dengan rasa kerendahan hati mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan silah berasaskan Al-Quran melalui mafhum pengertian Surah Al-Nisa’ ayat 58 seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Khutubi “Apabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat”. Syukur alhamdulillah dalam tempoh dua tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion. Hal ini menunjukkan bahawa negeri Johor merupakan salah satu destinasi pilihan utama pelabur dan para pelabur yakin dengan potensi yang dimiliki negeri ini.

Selain itu, petunjuk-petunjuk mikro ekonomi yang lain untuk negeri Johor seperti KDNK, jumlah eksport bersih, kadar pengangguran, imbangan pembayaran dan lain-lain lagi mencatatkan pertumbuhan berbanding tahun sebelumnya. Untuk kesekian kalinya, Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi berjaya mencatatkan belanjawan lebihan atau belanjawan surplus sebanyak RM5.12 juta untuk tahun 2025. Malah, Kerajaan Negeri juga mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion tahun ini. Pertama kalinya negeri merekodkan hasil melebihi RM2 bilion.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak dari awal tertubuhnya Kerajaan Negeri selepas pilihanraya negeri 2022, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan EXCO, pegawai-pegawai kerajaan dan kami semua ADUN-ADUN sentiasa bekerja keras untuk memastikan segala kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai. Pelbagai inisiatif telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk memastikan Agenda Maju Johor menjadi realiti. Menjunjung setinggi-tinggi kasih Ke bawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dan seluruh keluarga DiRaja Johor di atas keprihatinan terhadap Bangsa Johor yang berada dalam kesusahan dan yang menitahkan agar tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada tahun 2025. Dan, kesemua 4,378 ketua isi rumah miskin tegar berdasarkan data pada Mac 2023 telah berjaya disifarkan pada Julai 2024.

Program Johor Bersih dan Semarak Subuh juga terus dijalankan sehingga ke hari ini dan semakin membuahkan hasil. Saya sebagai ADUN kawasan Penawar juga menjalankan program tersebut di setiap kampung di dalam kawasan saya. Begitu juga dengan Program Keluarga Angkat Dapur Kasih Johor yang setiap bulan akan dilaksanakan tanpa gagal demi menyantuni mereka yang kurang bernasib baik. Malah, ada yang datang kepada saya minta dimasukkan namanya dalam Keluarga Angkat Dapur Kasih Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap tahun pembentangan bajet negeri pasti menyentuh mengenai isu perumahan kerana ia adalah elemen penting dalam kehidupan rakyat untuk berselindung, untuk berlindung dan melestarikan kehidupan. Malah, perumahan yang berada dalam industri hartanah juga memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara kita dari tahun ke tahun. Pada suku pertama 2024 sahaja, prestasi pasaran hartanah di Malaysia terus mengukuh dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing melonjak 17.2 peratus dan 34.3 peratus kepada 104,297 transaksi bernilai RM56.53 bilion. Antara elemen paling penting ialah pakej perumahan mampu milik untuk rakyat. Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan telah menyenaraikan dengan memperincikan beberapa perkara antaranya ialah yang pertama, kerajaan negeri telah mensasarkan untuk 30,000 unit rumah mampu milik dibina menjelang tahun 2026. Daripada

angka tersebut, sebanyak 13,461 unit Rumah Mampu Milik Johor telah siap dibina pada tahun 2022 hingga November 2024.

Yang kedua, sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor disasarkan dibina pada tahun 2025 di semua daerah melalui kerjasama Kerajaan Negeri dengan pemaju swasta. Yang ketiga, sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi pembangunan Rumah Residensi Bangsa Johor meliputi 432 unit di Jalan Ibrahim, Pontian dan 257 unit di Seri Menanti, Muar dengan kerjasama PIJH. Yang keempat, sejumlah RM6.65 juta diperuntukkan bagi tujuan Rumah Transit Bangsa Johor melibatkan 60 unit di Taman Penawar, Kota Tinggi dan 71 unit di Taman Nusa Sentral, Johor Bahru dan sebanyak RM36.15 juta diperuntukkan bagi pembangunan Rumah Kasih Johor dengan pengiraan 328 unit rumah baharu oleh PKPJ, MAIJ, Wakaf An-nur dan KKDW. Penawar berharap segala inisiatif ini dapat mengurangkan jurang dalam akses kepada perumahan berkualiti serta dapat meningkatkan bekalan rumah mampu milik khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sememangnya sukar memiliki rumah di pasaran terbuka.

Penawar juga berharap agar segala inisiatif rumah mampu milik ini sampai ke golongan sasar yang benar-benar memerlukan. Selain itu, isu kediaman siap tidak terjual di Johor masih menjadi kebimbangan besar dan campur tangan kerajaan adalah penting untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh sektor hartanah di negeri ini. Menurut laporan pasaran hartanah separuh pertama 2023 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) masih berlaku isu kediaman siap tidak terjual atau dipanggil sebagai overhanged yang signifikan di Johor. Johor kekal dengan bilangan kediaman siap tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 4,717 unit.

Justeru, Penawar ingin bertanya apakah bentuk intervensi Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini. Selain itu juga, Penawar mohon agar Kerajaan Negeri dapat memberikan perhatian kepada nasib pekerja-pekerja ladang dalam negeri Johor. Kebanyakan pekerja-pekerja ladang, syarikat-syarikat swasta, KULIM, Johor Plantation Group dan lain-lain lagi itu berumur sekitar 40 tahun hingga 50 tahun. Majoriti mereka akan bersara apabila mereka berumur 55 tahun kelak. Majoriti mereka akan bersara, yang masih bersara itu tidak mampu membeli rumah. Penawar mohon agar Kerajaan Negeri dapat menyediakan satu projek perumahan untuk mereka ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini dalam Ucapan Bajet 2025 Kerajaan Persekutuan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500.00 sebulan kepada RM1,700.00 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. Selain itu, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja. Contohnya, gaji permulaan juruteknik industri dan pengeluaran RM2,290.00, jurutera mekanikal RM3,380.00 dan profesional pekerjaan kandungan kreatif RM2,985.00.

Saya faham banyak perkara dan faktor yang perlu diambil kira dalam menentukan pelaksanaan gaji minimum ini. Namun, pada hari ini Kerajaan Negeri Johor sekali lagi menjadi pelopor apabila menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000.00 dan RM5,000.00 melibatkan 10 sektor pekerjaan utama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan direalisasi menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang pertama seumpama dilancar di negeri ini. Dengan tertubuhnya JTDC, saya harap ia dapat bertindak sebagai hab sehenti atau one stop centre yang menghubungkan institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Industri dan pencari kerja seterusnya dapat memastikan bahawa graduan TVET mendapat imbuhan setimpal dengan kemahiran mereka berdasarkan petanda aras gaji negara jiran kita Singapura.

Perkara ini akan mendorong lebih ramai anak muda untuk menyertai bidang TVET selain mengelakkan migrasi anak-anak muda di luar negeri yang akhirnya menyebabkan kita kehilangan banyak tenaga-tenaga pakar dalam negeri kita sendiri. Usaha proaktif ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri serius dalam memperjuangkan nasib anak-anak muda Bangsa Johor agar mereka mendapat peluang pekerjaan yang berkualiti dan bergaji tinggi. Saya juga berharap agar semua ekosistem dalam menjayakan hasrat ini sentiasa berjalan seiring. Penyedia-penyedia institusi TVET umpamanya perlu diperkasa agar mampu melahirkan graduan vokaliti yang mampu mengisi segala keperluan industri. Justeru, Penawar ingin bertanya apakah pelan tindakan kerajaan negeri untuk memperkasa institusi-institusi TVET di negeri ini?

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar ingin menyentuh perkara berkaitan teras keempat, kemudahan dan keperluan asas. Sejak dari dulu lagi, Kesultanan Johor sememangnya meletakkan agama Islam di atas sekali dan sentiasa memperkukuhkan pendidikan Islam. Pengisytiharan Fasal 57 dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor pada tahun 1895 telah memperlihatkan bahawa pentadbir dan masyarakat negeri berpegang teguh kepada ajaran agama Islam yang mengangkat agama Islam sebagai panduan dan cara hidup. Malah, perkembangan agama Islam yang pesat di negeri ini dapat dilihat melalui perkembangan pendidikan agama Islam. Kesultanan Johor telah menubuhkan Pejabat Agama Islam dan membina sekolah agama dalam usaha memperkasa pendidikan Islam. Saya mengajak semua yang ada dalam Dewan yang mulia ini, untuk kita menyelusuri sejarah keunikan, keistimewaan dan kehebatan Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sejarah perkembangan pendidikan agama Islam di negeri ini dicatatkan bermula dengan inisiatif guru-guru agama yang berwibawa telah menubuhkan sekolah kitab yang menggunakan pengantara bangsa Melayu.

Menurut Kajian Arabiah Soyut memperlihatkan bahawa Sekolah Quran pertama ialah Sekolah Agama Kukup di daerah Pontian. Sekolah Quran telah mendapat pengakuan sebagai sekolah agama pertama di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaya melalui pengusaha pelajaran Johor pada tahun 1900 hingga 1941 iaitu HR Chesni. Rekod telah membuktikan bahawa para pelajar di Maktab Inggeris di Johor Bahru telah diwajibkan belajar di Sekolah Quran pada sesi petang iaitu selepas menamatkan sesi pembelajaran persekolahan di Maktab pada sebelah paginya. Pada masa kini, terdapat 585 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor di seluruh negeri Johor. Dengan pertambahan murid, terdapat keperluan untuk menambah bilangan guru. Selain itu, terdapat juga sekolah-sekolah yang perlu dibaik pulih.

Saya menyambut baik inisiatif kedua puluh sembilan iaitu sejumlah RM4.77 juta diperuntukkan bagi projek membaik pulih sekolah agama. Cumanya, saya mohon agar tumpuan juga perlu diberikan kepada Sekolah Agama Kerajaan Johor yang terletak di dalam kawasan FELDA terutamanya di dalam kawasan Penawar yang semakin usang dan memerlukan bantuan baik pulih namun tidak boleh disalurkan peruntukan tersebut akibat sebab-sebab tertentu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti kita tahu kerajaan negeri telah menetapkan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor. Penawar berpendapat bahawa antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah aspek jaringan sokongan seperti pengangkutan dan juga akses kepada internet. Semua sedia maklum bahawa di kawasan saya iaitu Desaru merupakan salah satu destinasi tumpuan pelancong di dalam dan di luar. Namun begitu, terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah capaian internet yang masih lemah. Ini menyebabkan para pelancong sukar untuk melakukan pelbagai aktiviti antaranya menempah kenderaan termasuk Grab Car, membuat carian mengenai tempat menarik sekeliling Desaru dan lain-lain lagi. Perkara ini jika tidak dipandang serius boleh mendatangkan skor atau markah yang rendah kepada kawasan sekitar Desaru dan boleh menjejaskan reputasi Desaru dan juga negeri Johor.

Selain itu, Penawar ingin bertanya adakah Kerajaan Negeri ada mengadakan program pitching dan bengkel perkongsian ilmu bersama media tempatan mengenai pembentangan pelan untuk mempertingkatkan promosi di media masa dan media sosial dengan jalinan kolaborasi bersama media-media utama tempatan bagi pasaran domestik dan juga antarabangsa. Dan apakah bentuk pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan penduduk sekitar juga memperolehi manfaat melalui aktiviti hiliran dan lain-lain lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Penawar untuk membawa beberapa isu di kawasan Penawar. Pertamanya, berkaitan baik pulih sekolah-sekolah. Penawar mohon agar diberikan perhatian tentang pendawaian elektrik yang usang di sekolah-sekolah di dalam kawasan FELDA yang dibina sekitar tahun 70an. Kebanyakan masih single phase dan tidak sesuai untuk menampung keperluan penggunaan alat elektrik. Akibatnya sekolah-sekolah ini sering berlaku gangguan trip yang dikhuatiri akan turut memberikan kesan kepada peralatan khususnya komputer. Penawar telah membawa isu berikut sebelum ini, namun sehingga ke hari ini masih belum ada tindakan daripada pihak berwajib. Perkara ini merupakan keperluan mendesak lebih-lebih terlalu kerap berlaku trip dan dikhuatiri akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, FELDA merupakan salah satu komuniti terbesar di kawasan Penawar. Malah FELDA juga merupakan salah satu pemegang taruh utama Kerajaan Negeri. Dan di kawasan Penawar terdapat 6 kawasan FELDA. Penawar menyambut baik inisiatif kedua puluh empat dalam teras keempat iaitu sebanyak RM18 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan FELDA bagi pembangunan infrastruktur asas lot kediaman generasi kedua FELDA termasuklah satu FELDA dalam kawasan Penawar iaitu FELDA Sungai Mas. Dan semoga peruntukan ini dapat diselaraskan sebaiknya untuk dimanfaatkan seramai 580 lot.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar dapati dalam pembentangan Bajet 2025 ini terdapat sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi Tabung Bencana Negeri untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan pengurusan bencana alam seperti banjir, ribut dan tanah runtuh. Ini adalah peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding peruntukan pada tahun 2024. Penawar amat berharap dapat juga peruntukan bagi mengatasi masalah banjir terutamanya di kawasan Penawar iaitu di Kampung Baru, Sungai Mas. Di Penawar, sudah puluhan tahun Kampung Baru, Sungai Mas akan banjir bila musim hujan. Dulu, musim hujan akan berlaku pada bulan Disember, tetapi pada hari ini taburan hujan tidak menentu. Hujan lebat lebih tiga jam tiba-tiba kawasan itu akan banjir, maka mangsa-mangsa ini akan berpindahlah ke PPS. Bermalamlah mereka 2, 3 malam di situ dan pada masa-masa setahun 4, 5 kali jugalah, dengan izin, check-in di PPS ini.

Speaker

Yang Berhormat, tinggal 1 minit.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Maka, sedikit lagi. Maka Penawar mohon jasa baik Kerajaan Negeri dapat memindahkan lima keluarga ini ke tempat lain sekitar kampung tersebut. Mangsa-mangsa ini bukanlah orang senang yang mampu membeli rumah di sekitar Penawar. Kebanyakan kediaman mereka adalah rumah pusaka dan mereka ini tidak mempunyai pendapatan bulanan. Akhir kata, Penawar berharap Bajet 2025 ini dapat mensejahterakan semua Bangsa Johor dan memastikan agenda Maju Johor berada di landasan yang terbaik.

Terima kasih diucapkan kepada semua jabatan dan agensi yang sentiasa memberikan kerjasama yang tidak berbelah bagi, bagi membantu menyelesaikan isu di kawasan Penawar. Semoga Penawar maju membangun dan rakyat sejahtera. Bertepuk Dewan dengar berita gembira, Menteri Besar terbaik berbudi bahasa; Belanjawan 2025 Maju Johor Rakyat Sejahtera, limpahan untuk kita semua. Pergi ke kebun menanam kentang, singgah

ke kedai membeli sotong, Bajet 2025 selamat dibentang, YB Penawar mohon menyokong. Sekian, wabillahi taufik walhidayah assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran empat orang pemerhati daripada gabungan mahasiswa anak Johor di bawah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput Kahang.

Terima kasih Yang Berhormat Speaker kerana memberi saya mengambil bahagian dalam sesi perbahasan kali ini. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucapan selamat kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat menaungi patik-patik semua dan juga Bangsa Johor.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri demi kepentingan dan kesejahteraan Bangsa Johor. Ampun Tunku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah membentangkan satu bajet yang cukup komprehensif, cukup holistik dan saya percaya dengan bajet ini Johor akan terus maju seperti yang kita inginkan. The next engine of growth for Malaysia. Sebagai Economic Power House Of Malaysia, saya percaya dalam seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sejak dua tahun lalu, Johor telah pun menarik sebanyak RM113.7 bilion dan dianggarkan lebih banyak pelaburan akan masuk ke Johor selepas kita menandatangani Perjanjian Johore - Singapore Special Economic Zone.

Yang Berhormat Speaker, dalam kita meraikan keadaan kita pada hari ini, di mana Johor menjadi salah satu destinasi pelaburan yang penting di negara kita, kita tidak boleh terus leka dan alpa, kita kena sentiasa berfikiran jauh, kita kena terus kompetitif, kerana di luar sana bukan sahaja negeri-negeri lain di Malaysia, malah rantau lain juga ingin untuk menjadi The Economic Power House.

Saya dalam keadaan itu, Johor mesti terus kompetitif, kita kena terus membuat penambahbaikan dan juga pemikiran luar kotak untuk membawa pelaburan-pelaburan baharu ke Johor terus perlu terus dirancakkan. Dalam keadaan Johor pada hari ini, Yang Berhormat Speaker, dengan izin, the economic based of Johor, Datuk Speaker, is being anchored by sektor pembuatan, sektor perkhidmatan dan juga mungkin pelancongan dan juga sektor-sektor yang lain. Dalam keadaan pada hari itu, Johor kena mempelbagaikan ekonomi kita. Kita kena seperti saya katakan tadi membawa masuk perniagaan-perniagaan baharu. New business ventures untuk terus remain, dengan izin, sebagai negeri yang kompetitif dalam konteks pelaburan dan ekonomi di negara kita ini.

Dan dalam keadaan tersebut, negeri Johor juga boleh melihat kepada perniagaan-perniagaan baru, contohnya industri automatif. Sejak kebelakangan ini kita mungkin perasan bahawa kenderaan-kenderaan daripada negara China seumpamanya sudah mula bertapak di negara kita. Pasarannya begitu meluas, harganya cukup kompetitif. Banyak kereta-kereta daripada negara China sudah ada di negara kita ini. Dan kenderaan ini bukan lagi CVU, dengan izin. Tetapi CKD. Makanya sudah ada pemasangan tempatan. Kalau adanya pemasangan tempatan, maksudnya ada negeri telah pun membuka kilang automatif di negeri mereka supaya kereta-kereta ini dipasang di Malaysia atau pun negeri mereka.

Begitu juga dalam konteks, vehicle parts, alat-alat ganti manufacturing. Ini semua adalah industri-industri baharu yang mungkin kurang di negeri Johor. Mungkin negeri Johor juga harus merebut peluang dalam konteks industri yang semakin membesar ini.

Begitu juga dalam konteks Medical Tourism, Yang Berhormat Datuk Speaker. Kita ada Kumpulan Perubatan Johor yang cukup besar. Dalam konteks itu, medical tourism juga harus dilihat sebagai industri pelancongan yang perlu diperluaskan dan saya percaya pada hari ini memang ramai kalau kita tengok setengah-setengah hospital swasta ini daripada negara luar yang datang membuat rawatan di sini. Tetapi ia perlu diperluaskan. Kita kena jadikan sebagai Hub Medical Tourism di negara kita ini.

Dalam pada masa juga industri aerospace. Dulu difahamkan Johor nak menitik beratkan industri aerospace ini. Yang sesuatu yang high-tech, high level dan juga membawa pendapatan yang cukup lumayan sekali. Jadi saya rasa ini semua adalah peluang-peluang untuk negeri Johor untuk diversify ekonomi kita supaya kita terus remain sebagai negeri yang kompetitif. Kita sebenarnya mampu untuk menjadi The Defence Corridor of Malaysia, Yang Berhormat Datuk Speaker, The Defence Corridor of Malaysia kalau kita sebenarnya memberi fokus kepada industri aerospace ini. Lebih-lebih lagi kita ada kelebihan, Menteri Pertahanan daripada Johor. Jadi saya rasa kita boleh menyakinkan untuk Johor menjadi defence corridor. Kalau kita tidak mampu, kita ada dua YB yang boleh menyakinkan Menteri Pertahanan, YB Sedili dan kita hantar YB Permas untuk berjumpa, untuk kita memberi fokus kepada Defence Corridor of Malaysia. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa dalam keadaan dunia semakin berubah, semakin yang kompleks, ini adalah perkara-perkara yang kita perlu lihat seperti yang saya katakan tadi tidak boleh berada dalam comfort zone.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dulu di negeri Johor kita cerita pasal Wilayah Pembangunan Iskandar. Kemudiannya datang pula PIPC, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan kita juga sebahagian daripada ECER dan pada hari ini kita cerita pasal Special Economic Zone, Special Financial Zone dan sebagainya. Jadi ini semua adalah perkara-perkara yang membuatkan hasil membawa kebaikan kepada Johor untuk kita terus remain kompetitif. Selain daripada venture yang baharu, persediaan kita dalam konteks infrastruktur. Pelabur yang masuk ke Johor ini juga akan melihat kepada infrastruktur, sistem perjalanan, jalan yang baik, sistem airport yang baik dan juga inisiatif-inisiatif yang sebenarnya akan membuat atau pun memberikan mereka lebih kemudahan untuk memastikan pelaburan mereka itu berbaloi. Jadi dalam konteks itu, apabila kita membuat perbincangan di zon-zon ekonomi baharu, kita juga harus mengambil kira pembangunan yang berlaku 15 hingga 20 tahun yang akan datang. Bukan dalam tempoh 5 tahun. Kita kena ambil kira ekosistem perniagaan ketika itu seperti perumahan di kawasan-kawasan yang kita akan bangunkan. Begitu juga kesesakan lalu lintas dan sebagainya. Mengambil kira perkara-perkara ini barulah planning yang begitu rapi harus dibuat supaya ini semua tidak membawa kita kesusahan pada masa-masa yang akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu isu yang akan menjadi perkara yang paling penting untuk difokus oleh pelabur ialah pembangunan sumber manusia. Jadi dalam konteks itu, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam bajet banyak perkara yang telah pun dinyatakan dalam konteks pembangunan sumber manusia, RM20 juta untuk penyediaan latihan dan peningkatan kemahiran serta produktiviti. RM3 juta untuk pembangunan bakat dan juga pro-mahir bakat pro-mahir di Johor. RM1 juta untuk naik taraf sekolah hospitaliti dan pelancongan, Kolej Yayasan Pelajaran Johor. Begitu juga RM1.5 juta untuk pembelian peralatan di Politeknik dan juga J-Skill dan sebagainya. Jadi ini semua adalah perkara-perkara yang sepatutnya kita ucap terima kasih kerana Yang Amat Berhormat Menteri Besar fokus kepada perkara-perkara yang penting seperti ini. Tetapi pada masa yang sama, adakah dalam konteks peluang pekerjaan dengan pelaburan yang begitu banyak masuk ke Johor, difahamkan 35,000 peluang pekerjaan ada di Johor

dan selepas Special Economic Financial Zone ini diadakan mungkin 100,000 peluang pekerjaan. Kita kena lihat bahawa pekerjaan-pekerjaan ini memerlukan kemahiran. Jadi dalam konteks itu, saya rasa stakeholders yang ada kat Johor ini, termasuk Johor Talent Development Council yang akan ditubuhkan sebelum ini kita ada Unit Strategik Modal Insan dan juga agensi-agensi lain seperti YPJ dan sebagainya yang terlibat dalam proses latihan dan pendidikan termasuk TVET di negeri Johor.Jadi, tolong ambil perhatian tentang perkara ini. Saya percaya kita memerlukan tenaga kerja yang mahir, yang high-tech, yang sophiticated, termasuk di dalam konteks renewable energy, dalam konteks mekanikal, semikonduktor, artificial intelligence, dengan izin dan sebagainya. Sekiranya kita gagal untuk membuat persediaan untuk melatih bakat anak-anak muda di Johor. Pelabur yang masuk ke negeri Johor akan juga teruskan operasi mereka. Mereka akan membawa tenaga kerja mahir daripada negeri-negeri lain atau pun negara-negara lain. Jadi, dalam konteks limpahan ekonomi yang berlaku di negeri Johor, kita sekadar menjadi spectator sahaja. Jadi kita tak nak keadaan seperti itu. Saya rasa banyak program-program dan latihan-latihan TVET kita perlu titikberatkan. Kalau boleh, menerusi Yayasan Pelajaran Johor, Johor kena mula membuat pelaburan untuk menubuhkan lebih banyak kolej-kolej latihan dan kemahiran di negeri Johor. Kalau boleh setiap daerah kena ada pusat-pusat latihan TVET yang bertauliah di bawa seliaan Kerajaan Negeri Johor. Jadi dalam konteks itu, agensi-agensi yang berkaitan apabila mengwar-warkan tentang peluang-peluang latihan, jangan hanya memberi fokus kepada social media sahaja atau pun online application. Saya minta agensi-agensi berkaitan turun padang, jumpa dengan stakeholders saya rasa datang ke kesemua 56 DUN, Wakil-wakil Rakyat yang kita ada di sini akan sedia membantu untuk mengadakan program, bawa anak-anak muda di kawasan kita, beri mereka pencerahan, maklumkan kepada mereka apa yang berlaku di negeri Johor, apakah peluang-peluang, bidang-bidang apa yang boleh diceburi dan sebagainya. Pada hari ini ramai yang tidak tahu. Kita tidak boleh mendabik dada dengan hanya menyatakan 3,000 orang, 4,000 orang telah mendapat peluang daripada inisiatif Kerajaan Negeri. Sepatutnya dalam usaha yang kita buat ini lebih ramai anak muda harus mendapat peluang dan apabila pelabur-pelabur ini masuk, mereka ada local talent untuk bekerja dalam industri-industri yang ada di negeri Johor ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana beliau telah membuktikan bahawa beliau adalah Menteri Besar untuk semua. Menteri Besar untuk semua kaum. Dalam konteks itu, masyarakat India juga tidak pernah ditinggalkan. Banyak usaha dan juga inisiatif yang diambil oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menyelesaikan isu-isu masyarakat India seperti dalam konteks pembinaan krematorium untuk masyarakat India, tapak-tapak baru untuk sekolah-sekolah Tamil dan sebagainya. Banyak peruntukan untuk NGO, rumah-rumah Ibadat dan sebagainya juga telah pun beliau hulurkan. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks Johor Maju. Dalam konteks kita dah menjadi sebuah warga yang maju, sebuah negeri yang maju, masyarakat India juga tidak ingin ketinggalan dalam konteks pembangunan negeri Johor. Saya rasa hanya dengan memberi peruntukan sahaja tidak mencukupi. Tetapi lebih banyak program intervensi, special targeted program, dengan izin untuk masyarakat India juga perlu diadakan di negeri Johor. Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh mengarahkan agensi-agensi yang ada di negeri Johor untuk membuat program-program yang spesifik untuk masyarakat India. Kita mungkin seperti Program Inkubator, keusahawanan untuk belia-belia India, wanita masyarakat India begitu juga peluang-peluang pekerjaan. Dulu pun pernah kita bangkitkan bahawa telah ada juga keputusan, bahawa peluang pekerjaan di PBT-PBT. Begitu juga di Pejabat Tanah dan sebagainya. Ini adalah agensi-agensi yang penting dengan adanya staff atau pun pegawai perhubungan awam masyarakat India dalam agensi-agensi ini mereka dapat membantu Kerajaan Negeri dalam delivery

system, dalam sistem untuk membantu merakyatkan servis kerajaan kepada masyarakat. Dalam konteks itu juga, saya harap bahawa peluang-peluang pekerjaan ini akan dititik beratkan agensi kerajaan seperti IRDA, PUJB, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, kena ambil inisiatif create special targeted programme untuk masyarakat India. Dan juga Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang dikatakan dalam konteks rumah-rumah ibadat, saya rasa memang pemutihan perlu dilakukan, perlu ada task force, banyak kes-kes di mana permohonan-permohonan rumah ibadat ini lama tertangguh. Kita faham ia perlu melalui beberapa agensi tetapi kadang-kadang mengambil masa sehingga bertahun dan apabila keputusan keluar, ianya ditolak pula oleh Majlis Keselamatan Daerah. Jadi kadang-kadang ini merungsingkan kita. Saya rasa kena ada KPI, kena ada time frame untuk semua permohonan ini begitu juga dalam konteks ada juga kes-kes tanah dikenal pasti oleh PTD, mengarahkan pihak kuil untuk memohon tanah tersebut. Tetapi apabila dimohon keputusannya ditolak. Ada juga kes tapak RIBI juga ditolak. Jadi saya rasa ini semua perlu diperhalusi oleh Kerajaan Negeri untuk membantu dalam konteks memudahkan permohonan tanah-tanah untuk rumah ibadat.

Yang Berhormat Speaker, saya sentiasa berpendirian bahawa di negeri Johor sudah sampai masa supaya adanya satu unit atau pun jabatan khas untuk masyarakat India. Kerana menerusi unit ini apabila sekiranya ditubuhkan sama ada di bawah pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar atau pun di bawah BPEN atau pun EXCO Masyarakat India. Apabila adanya satu jabatan akan ada ketua jabatan, akan ada pegawai, akan ada staff, akan ada pejabat dan juga peruntukan tahunan untuk melaksanakan program membuat kajian dan banyak inisiatif-inisiatif untuk masyarakat India. Jadi, dalam konteks itu, perkara ini harus diperhalusi kerana tujuan diadakan jabatan ini atau unit ini ialah untuk membantu rakyat to enhance the service of the government towards the people, Yang Berhormat Speaker, dengan izin. Jadi dalam konteks itu saya rasa sudah sampai masa untuk Johor melihat semula tentang keperluan satu unit atau pun Jabatan Hal Ehwal Khas Masyarakat India di negeri Johor.

Yang Berhormat Speaker, saya juga ingin membawa beberapa isu berkaitan dengan kawasan saya. Di kesempatan ini saya nak membawa mengenai satu kes seorang pelajar berusia 15 tahun daripada Sekolah Menengah Kahang, namanya ialah Kasih Raudah binti Mohd Shah. Dia adalah seorang pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran tetapi seorang yang menyerlah sebagai seorang atlet dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSJ tahun 2024 di UTM Skudai. Dia memenangi 4 pingat emas, 1500 meter, 800 meter, 400 meter, 4x100 meter. Yang Berhormat Speaker, dia mewakili Johor di Para SUKMA 2024 di Sarawak. Di sana dia memenangi 2 pingat emas, 1 gangsa malah pecah rekod baharu dalam 800 meter, 1500 meter mendapat pingat emas, 400 gangsa. Dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM 2024 di Perak, memenangi 3 pingat emas, 800 meter, 1500 meter, 400 meter dan telah berjaya memecahkan rekod di semua acara tersebut. Saya membawa isu ini di sini kerana beliau adalah sebutir permata yang perlu kita jaga. Atlet-atlet seperti ini perlu kita jaga, mungkin di luar sana ramai lagi yang berkaliber. Dalam konteks ini, saya minta Majlis Sukan Negeri Johor untuk melihat semula bagaimana pelajar ini boleh dibantu untuk terus menyerlah. Jabatan Pendidikan Johor juga untuk memastikan beliau cemerlang dalam akademik pada masa yang sama menyerlah dalam bidang sukan. Kerana saya tengok keadaan rumahnya tidak begitu baik, keadaan sosio ekonomi keluarga dia juga tidak baik, juga mempunyai adik beradik seorang lagi yang OKU, jadi pelajar ini bukan sahaja perlukan motivasi tetapi perlukan bantuan dari segi sokongan dan juga kewangan untuk latihan supaya dia terus menyerlah dan satu hari boleh mengharumkan nama negara kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kahang merupakan satu kawasan, beberapa kali pernah saya bangkitkan dalam sidang-sidang sebelum ini sebagai kawasan pelancongan. Di Kahang ini cukup unik kerana laluan terakhir, pekan Pahang ialah laluan terakhir ke Taman Negara Endau - Rompin. Di Kahang ini ada kampung Melayu tradisional. Ada kampung

Melayu tradisional, ada kampung baru Cina, perkampungan Orang Asli dan juga kampung India yang mungkin jarang di kawasan-kawasan lain. Kita ada FELDA, kita ada sawah padi seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam bajet, kita ada Gunung Belumut, kita ada sungai, ikan baung, udang galah dan juga aktiviti menangkap ikan menjadi begitu popular di kawasan ini. Jadi saya mohon supaya Kerajaan Negeri juga melihat pembangunan pelancongan di kawasan Kahang ini supaya ia juga dapat bukan sahaja membantu penduduk setempat tetapi juga dalam konteks ekonomi negeri Johor.

Dan juga, YB Datuk Speaker, berkaitan dengan pemasangan lampu-lampu jalan, di jalan-jalan keluar masuk di kawasan-kawasan FELDA di DUN Kahang juga perlu diambil kira oleh agensi-agensi yang berkaitan. Permohonan telah beberapa kali dimasukkan, saya nak melihat, saya harap agensi berkenaan akan tengok semula naik taraf jalan Kluang ke Mersing juga menerusi Kahang ini jalan yang cukup, kadang-kadang malam terlalu gelap, bengkang bengkok dan juga merupakan laluan gajah. Pernah berlaku banyak insiden berlaku kemalangan melanggar gajah dan sebagainya. Jadi, jalan-jalan ini perlu diterangkan. Pencahayaan jalan di kawasan-kawasan hotspot ini juga perlu dititik beratkan senarai dan juga kita nak juga minta JKR Kluang untuk membuat BQ telah pun dihantar. Saya harap ia juga akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali ialah juga saya mohon naik taraf perparitan di Kampung Melayu MARDI. Kerana kawasan ini juga sebuah kawasan yang mudah dinaiki air dan juga banjir sertiap tahun. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker saya terus berharap supaya dengan apa yang telah pun saya bawa dan isu yang paling akhir ialah mengenai Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim. Saya rasa agensi YPKDT ini khususnya di kawasan Kluang ini cukup proaktif. Mereka adalah agensi yang turun bersama wakil rakyat untuk membantu masyarakat di kawasan-kawasan kita dan sebagainya. Jadi saya difahamkan sejak tahun lepas, bantuan peralatan kesihatan, bajet untuk bantuan peralatan kesihatan YPKDT ini sudah tidak ada lagi. Sebelum ini mereka bantu, katil kesihatan, pampers, susu dan pelbagai, wheel chair dan sebagainya, dengan izin. Tapi sudah tidak ada. Lebih fokus kepada program, ceramah dan juga program-program bantuan menjana pendapatan. Tetapi saya rasa sebagai satu agensi yang dekat dengan hati rakyat, sentiasa berada di akar umbi, saya rasa bantuan kesihatan juga harus disalurkan menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim supaya ia dapat membantu lebih ramai orang dan juga pada masa yang sama membantu wakil rakyat seperti kita untuk menjaga kawasan masing-masing.

Jadi, dengan kata-kata itu, saya sekali lagi ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker kerana memberi ruang dan peluang kepada saya dan saya mohon menyokong. Sekian, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan selawat). Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Muafakat Johor diucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker di atas ruang yang diberikan untuk saya berucap bagi sesi sidang Dewan Negeri Johor penggal ketiga DUN Johor ke-15 ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, EXCO-EXCO kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, ampun tuanku izinkan patik mewakili seluruh rakyat di DUN Bukit Naning merafak sembah, ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucapan selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri

Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November lalu. Patik berdoa kehadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja sekalian dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekaliannya.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tuanku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan amanat yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri demi kepentingan dan kemaslahatan Bangsa Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan EXCO atas pembentangan Belanjawan 2025 yang begitu komprehensif dan menyeluruh. Belanjawan kali ini benar-benar mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat dari semua lapisan termasuk penjawat awam. Ia juga menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri terus mendahulukan rakyat dalam perancangan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan juga infrastruktur. Dengan jumlah belanjawan mengurus sebanyak RM1.271 bilion, manakala pembangunan sebanyak RM728 juta saya melihat bahawa belanjawan kali ini adalah belanjawan yang benar-benar menyasarkan keperluan rakyat. Pelbagai golongan termasuk penjawat awam dan warga emas mendapat manfaat daripada belanjawan ini. Sebagai wakil rakyat, saya percaya bahawa belanjawan ini adalah satu refleksi komitmen kerajaan terhadap inspirasi rakyat Johor. Kita melihat fokus kepada pembangunan mampan bantuan golongan B40 serta usaha memperkukuhkan daya saing ekonomi Johor di peringkat nasional dan antarabangsa.

Di kesempatan ini juga saya turut berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang telah membawa misi pelaburan negeri sebelum ini yang mana telah memperlihatkan kejayaan yang memberangsangkan. Buat pertama kalinya dalam sejarah, Johor akan merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion bagi tempoh tahun 2024. Pelaburan berjumlah RM113.7 bilion serta penjanaan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh dua tahun merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

Ia menjadi penanda aras baharu dalam lonjakan dan merubah lanskap ekonomi negeri ini. Pendekatan proaktif yang diambil kerajaan negeri melalui pelaksanaan 6 Teras Maju Johor yang merangkumi 244 inisiatif berpotensi meletakkan negeri Johor sebagai negeri maju dengan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Penyertaan pelabur yang berkualiti bukan sahaja menawarkan pendapatan yang tinggi, malahan ianya turut menjana peluang pekerjaan yang berkualiti. Semoga kecemerlangan ini dapat mempertabatkan Bangsa Johor di mata dunia, mudah-mudahan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah, belanjawan kali ini juga menekankan aspek infrastruktur yang banyak memberi manfaat kepada penduduk Bukit Naning. Penambahbaikan dibuat terhadap pelbagai kemudahan awam. Semua ini adalah langkah penting bagi memastikan kemudahan yang baik untuk semua rakyat sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk Johor. Sebagaimana dinyatakan dalam teras empat, kemudahan dan keperluan asas, inisiatif 29 yang dibentangkan bahawa sebanyak RM4.77 juta diperuntukkan bagi projek membaik pulih sekolah agama. Bukit Naning berterima kasih atas komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan serta menambah baik kemudahan sekolah-sekolah agama di negeri Johor. Begitu juga dengan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembinaan masjid baru dan surau melibatkan 13 buah masjid dan 5 buah surau baru dalam pembinaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon maaf kerana sound tak berapa elok pada pagi ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bukit Naning mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam memberi akses kepada pemilikan rumah sama ada secara sementara melalui rumah mampu milik. Program perumahan rakyat, rumah sewa kerajaan, rumah transit atau rumah skim sewa beli. Selaras dengan belanjawan yang

dibentangkan, sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disasarkan dibina pada tahun 2025 di semua daerah melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan pemaju swasta. Saya percaya, Kerajaan Negeri amat serius dalam membangunkan RMMJ ini kerana ia merupakan isu yang menjadi keutamaan rakyat. Melihat kepada permintaan yang tinggi terhadap rumah mampu milik ini, saya mengambil kesempatan di sini, mohon agar Kerajaan Negeri mengkaji, menilai seterusnya mempertimbangkan semula cadangan pembinaan rumah mampu biaya dan rumah mampu milik di Bukit Naning. Selaku DUN Bukit Naning, saya telah mengenal pasti 3 lot tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) dan Kerajaan Negeri yang terletak dalam kawasan DUN Bukit Naning sebagai tapak cadangan bagi pembinaan Rumah Mampu Biaya dan Rumah Mampu Milik Johor. Tapak cadangan bagi pembangunan rumah mampu biaya dan rumah mampu milik ini terletak di Lot 268, Lot 6604 dan Lot 5943 dan telah disemak, disahkan pula oleh Pejabat Tanah Daerah.

Pembangunan ini haruslah dibangunkan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan syarikat berkaitan kerajaan GLC Johor sahaja. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan agar agensi KPRJ dilantik sebagai pemaju bagi pembangunannya kelak. Oleh kerana tanah-tanah ini adalah milik kerajaan negeri dan juga SSI, saya mohon agar kerajaan tidak membenarkan mahupun meluluskan permohonan dari mana-mana pihak bagi tujuan pembangunan mahupun untuk diusahakan. Selaku Wakil Rakyat, saya dan warga Bukit Naning amat menantikan berita gembira agar cadangan ini dapat terlaksana dan direalisasikan. Kami akan menunggu ucapan penggulungan Yang Berhormat EXCO dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas permohonan ini. Saya akan terus memperjuangkan perkara ini demi kepentingan rakyat di Bukit Naning. Baru-baru ini Yang Berhormat Speaker, saya telah mewujudkan satu unit khas, taskforce dengan izin untuk meneliti kertas cadangan sebagaimana dicadangkan oleh Yang Berhormat EXCO. Semoga permohonan ini menjadi satu kenyataan. Selain itu juga, saya mencadangkan agar syarat pemilikan rumah ini dipermudahkan terutamanya bagi golongan-golongan yang baru berkahwin, usaha membangunkan perumahan di kawasan luar bandar sesungguhnya akan mengurangkan tekanan migrasi ke bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, usaha menubuhkan sebuah aktiviti warga emas, PAWE di Bukit Bakri adalah langkah proaktif oleh komuniti Bukit Naning. Warga emas adalah aset kepada masyarakat dan PAWE bukan sekadar pusat aktiviti tetapi simbol penghargaan kepada golongan ini. Di PAWE, warga emas bukan sahaja berpeluang bersosial tetapi juga menjalani aktiviti yang merangsang mental dan juga fizikal. Ini juga membantu mengurangkan tekanan emosi serta mereka akan terus aktif dalam komuniti. Sehubungan dengan itu, peruntukan berjumlah RM1.9 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih premis di 29 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan 9 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan satu RPKK di seluruh negeri Johor adalah satu langkah yang tepat. Justeru, Bukit Naning memohon agar kerajaan memberikan perhatian dan keutamaan bagi penubuhan PAWE di Bukit Naning dan juga bagi penambahbaikan fasiliti di dua unit Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sedia ada bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan bagi penyelia dan pelatihnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak RM730,000.00 telah diperuntukkan bagi baik pulih gelanggang sukan iaitu menambah baik 24 kemudahan sukan yang lebih selamat dan berkualiti khususnya di kawasan luar bandar. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah memberikan perhatian kepada kemudahan rekreasi ini. Padang permainan adalah elemen penting dalam pembentukan komuniti sihat dan harmoni. Saya berharap usaha menaik taraf ini melibatkan penyediaan kemudahan mesra OKU, kerana semua lapisan masyarakat berhak menikmati ruang rekreasi awam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pembasmian kemiskinan adalah satu antara agenda utama kita di negeri Johor. Banyak galakan dan inisiatif diwujudkan bagi menangani masalah kemiskinan warga DUN Bukit Naning ini terutamanya di Mukim Air Hitam. Saya ingin

merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak TNB, ICU, PKPJ, SPNB dan MAIJ atas usaha murni membantu golongan miskin tegar. Dalam masa yang sama, kita perlu memastikan ketelusan dalam pemilihan penerimaan bantuan agar mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dapat dibantu. Kerjasama semua pihak amat penting untuk menamatkan kitaran kemiskinan ini. Selain itu, pendidikan juga perlu diberi tumpuan agar anak-anak daripada golongan miskin tegar ini dapat mengubah nasib keluarga mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu tekanan air rendah telah lama menjadi keluhan rakyat di DUN Bukit Naning. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas peruntukan serta Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (KKDW) atas pembinaan tangki air baru yang kini memberi manfaaat lebih 1,500 penduduk. Namun, saya ingin menggesa agar lebih banyak tangki dibina bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah khususnya di kawasan Muar dan Air Hitam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masjid dan surau adalah pusat komuniti yang penting, saya mohon perhatian Kerajaan Negeri untuk membaik pulih masjid dan surau di Bukit Naning terutamanya alatan-alatan siar raya yang telah lama dan uzur. Keharmonian umat Islam bermula daripada masjid dan memastikan masjid dalam keadaan baik adalah tanggungjawab kita semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Bulatan Setia Mukim Seri Menanti, Muar memerlukan perhatian segera. Saya menyeru kerajaan negeri untuk meluluskan peruntukan bagi membangunkan semula kawasan ini kerana kedudukannya terletak dalam kawasan Bukit Naning. Ianya akan memberi manfaat secara maksimum kepada mereka yang layak demi kesejahteraan komuniti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk teras empat kemudahan dan keperluan asas inisiatif sembilan. Memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi menaik taraf infrastruktur pencahayaan jalan raya di kawasan persimpangan yang berisiko tinggi melibatkan pemasangan lampu jalan, lampu amber dan lampu isyarat. Dengan ini, Bukit Naning mengalu-alukan usaha tersebut dan berharap banyak lagi kawasan-kawasan yang bakal menerima kemudahan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh inisiatif berjumlah satu, RM20 juta dan penyediaan latihan peningkatan kemahiran melalui kerjasama Johor Talent Development Council (JTDC) bersama Human Resource Development Corporation. Kedua, RM3 juta bagi menyediakan latihan kemahiran jangka pendek dalam sektor kemahiran tinggi dengan jaminan pekerjaan selepas tamat kursus di bawah Program Pembangunan Bakat Pro Mahir Johor. Dan akhir sekali, ketiga, RM1 juta bagi melancarkan Gerakan Kerjaya Johor dalam dan Ekspo TVET 2025. Tiga inisiatif ini diharap dapat membantu belia lepasan TVET untuk meningkatkan kemahiran bagi memasuki pasaran kerjaya terutamanya industri berteknologi.

Saya berharap agar warga DUN Bukit Naning akan mengambil kesempatan ini bagi mempersiapsiagakan diri bagi memenuhkan ataupun memenuhi keperluan industri seterusnya beroleh pekerjaan yang sesuai serta gaji yang setimpal. Data menunjukkan 90 peratus graduan TVET memperolehi pekerjaan tetapi 90 peratus mereka meraih gaji yang rendah sekitar RM2,000.00 sebulan. Pemadanan kerjaya berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji bermaruah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rumah Johor terindah di mata, dibina ikhlas pemimpin negeri, rakyat sejahtera hidup selesa, Johor maju menjadi aspirasi. Air mengalir di Bukit Naning, kehidupan rakyat tiada tandingan, Johor terus maju bersanding, kesejahteraan rakyat jadi keutamaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan EXCO, pegawai negeri dan semua yang terlibat.

Keprihatinan semua pihak amat dihargai dan saya berharap agar segala usaha yang telah dilaksanakan ini akan terus memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Johor ini. Saya yakin Belanjawan 2025 ini akan membantu khususnya Bukit Naning untuk mencapai visinya sebagai sebuah kawasan yang berdaya saing dan diberkati dengan pelan pembangunan melalui 6 teras dan inisiatif ygn telah dirangka. Saya penuh percaya, kita akan dapat merealisasikan impian. Marilah kita sama-sama merebut peluang daripada belanjawan ini dan sama-sama bekerja keras untuk memastikan negeri Johor terus maju ke hadapan.

Terima kasih sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas komitmen yang telah ditunjukkan. Semoga negeri Johor akan terus maju membangun dengan aman dan makmur, dijauhi dari segala bencana agar seluruh rakyat dapat hidup harmoni bersatu padu dan bahagia. Akhir kalam sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih. (Dewan bertepuk). Bukit Naning menyokong Belanjawan Negeri Johor 2025.

Speaker

Terima kasih Bukit Naning. Seterusnya, saya jemput, Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, selamat tengahari kepada barisan EXCO dan rakan-rakan ADUN sekalian. Menjelang tahun 2025 saya mengambil kesempatan di sini merakamkan penghargaan dan kepujian yang tertinggi kepada pegawai-pegawai kerajaan tempatan di Segamat atas usaha dan kerjasama yang dibagi sepanjang tahun 2024 khususnya Yang DiPertua MPS, Tuan Haji Helmi bin Sagari, jurutera dari JKR Segamat, Puan Norsalihin binti Abd Razak dan juga jurutera dari JPS Segamat Puan Siti Zuraidah binti Md Kamsir yang baru-baru ini dipindahkan ke daerah Ledang. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, ketiga-tiga pegawai tertinggi di pejabat masing-masing ini sentiasa berkomitmen tinggi, rajin, bertanggungjawab dan bertindak dengan amat berefisiensi. Mereka juga merupakan pemimpin yang sentiasa mengamalkan etika kerja yang tinggi dan membimbing pasukan mereka untuk turut berkembang dan berkhidmat untuk masyarakat.

Yang DiPertua MPS, Haji Helmi walau pun baharu sahaja dilantik kurang daripada 1 tahun beliau tetap memperharumkan nama MPS di peringkat kebangsaan. Tahniah saya ucapkan kepada Tuan YDP yang telah memenangi penarafan 5 bintang bagi Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2024 di dalam kategori perbandaran. Beliau berwawasan untuk membawa pembangunan, kemudahan infrakstruktur di dalam bandar Segamat. Beliau juga berdedikasi bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan perkhidmatan anggota-anggota Majlis Perbandaran Segamat. Begitu juga, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Puan Norsalihin dan Puan Siti Zuraidah yang sentiasa memberikan maklum balas dalam masa yang tersingkat walau pun kebanyakan masa bukan waktu bekerja.

Selain sebagai pegawai tahap tertinggi di JKR Segamat dan JPS Segamat masing-masing kedua-dua jurutera ini juga merupakan seorang ibu. Walau bagaimana pun, ini tidak menjadi alasan bagi kedua-dua wanita yang muda ini untuk menangguhkan tugas mereka. Kita semua ambil maklum bahawa tugas sebagai jurutera amat memenatkan dan mencabar terutamanya bagi golongan wanita. Kedua-dua ibu ini memikul tanggungjawab yang berat bagi memastikan operasi dan penyelenggaraan infrastruktur dan perkhidmatan yang lain di Segamat berjalan dengan lancar dan tepat masa. Apatah lagi beberapa projek yang besar sedang dijalankan seperti penyelenggaraan jalan yang rosak akibat banjir pada tahun lepas dan projek tebatan banjir. Ketiga-tiga ketua bagi bahagian masing-masing ini mempunyai beberapa kesamaan, muda, rajin, berbakat, berkomitmen tinggi, bertanggungjawab, tidak berat sebelah atau berpatisan. Kita semua mempunyai visi yang sama, iaitu membawa kemajuan terhadap negeri Johor seperti mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengumumkan bahawa negeri Johor mampu membangun seperti Shenzhen.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu ambil maklum bahawa kerajaan negeri bukan sahaja perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang komprehensif tetapi sistem

pentadbiran yang lebih perkasa dan efisien. Sistem pentadbiran tempatan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan ekonomi negeri kerana ia bertindak sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi. Maka besarlah harapan saya bahawa ketiga-tiga pegawai yang tersebut tadi menjadi teladan kepada semua pegawai pentadbiran tempatan.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk menegaskan bahawa pemerkasaan wanita dalam bidang pentadbiran negeri adalah amat penting. Setakat hari ini, walaupun negara kita telah ditubuh melebihi 6 dekad. Penyertaan wanita dalam sistem pentadbiran negara terutamanya di peringkat eksekutif masih kurang daripada 30 peratus. Kita semua dimaklumkan bahawa golongan wanita mampu membawa perspektif kemahiran dan pendekatan yang berbeza dan menyumbang kepada keberkesanan pentadbiran serta pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih inklusif. Penyertaan wanita amat bernilai dalam pentadbiran negeri sebab itu memperkukuhkan kepelbagaian dan perspektif dalam penggubalan dasar. Wanita membawa pandangan yang unik berdasarkan pengalaman dan perspektif mereka terutama dalam isu-isu yang melibatkan keluarga, pendidikan, kesihatan dan kebajikan masyarakat. Kepelbagaian ini membantu pentadbiran negeri membuat keputusan yang lebih komprehensif dan memenuhi keperluan seluruh masyarakat. Banyak kajian menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung memimpin dengan gaya kolaboratif, bersikap empati dan mengutamakan integriti dalam bekerja. Ini membantu memperkukuhkan nilai profesionalisme dan ketelusan dalam pentadbiran negeri serta mewujudkan suasana kerja yang harmoni.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, populasi wanita dalam Malaysia pada tahun 2023 adalah 48.93 daripada populasi keseluruhan negara. Nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan sehingga suku pertama tahun 2024 seperti yang diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohamad Uzir Mahidin pada Mei yang lalu.

Ini menunjukkan kehadiran wanita dalam pentadbiran negeri boleh meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan kesaksamaan jantina dan hak-hak wanita. Mereka boleh memperjuangkan dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada wanita, keluarga dan kumpulan rentan lain demi membentuk satu masyarakat yang lebih adil dan seimbang.

Penglibatan wanita dalam sistem pentadbiran negeri juga menggalakkan pembangunan sosial ekonomi yang lebih inklusif. Wanita sentiasa lebih peka terhadap masalah sosial seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan komuniti. Wanita boleh memainkan peranan penting dalam merancang, memanfaatkan seluruh komuniti termasuk kaum wanita dan kanak-kanak yang menyokong pembangunan ekonomi yang lebih inklusif. Apabila wanita dilihat memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri yang memberi inspirasi kepada wanita lain untuk terlibat bukan sahaja kepimpinan dan pengurusan malah di dalam semua peringkat. Ini membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara serta memupuk kesedaran mengenai peranan mereka dalam masyarakat.

Apabila wanita terlibat secara aktif dalam tenaga kerja, ia meningkatkan jumlah produktiviti bukan sahaja negeri, malah negara. Tenaga kerja yang lebih besar membawa kepada pengeluaran yang lebih tinggi, meningkatkan KDNK dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara kita. Secara keseluruhannya, penyertaan wanita dalam pentadbiran negeri bukan sahaja meningkatkan dan keberkesanan pentadbiran tetapi membawa manfaat besar membentuk masyarakat besar yang berbentuk inklusif, adil dan makmur. Maka saya menyeru supaya Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan untuk menambah jumlah kepimpinan wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam sistem pentadbiran Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menyasarkan kedatangan pelancong luar negara sebanyak 35.6 juta sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026. Dengan peningkatan kesedaran tentang kelestarian alam, Malaysia akan menumpukan kepada pelancongan berkelanjutan dan berorientasikan dan alam semula jadi. Saya menyambut baik inisiatif yang bakal dijalankan oleh MOTAC seperti pakej pelancongan ekologi, kempen pembersihan pantai dan pengurusan taman-taman negara untuk menarik pelancong yang menghargai alam sekitar.

Tetapi saya juga ingin menegaskan bahawa sistem jalan raya yang lengkap amat penting bagi menyokong dan memperkembangkan industri pelancongan.Jalan raya yang lengkap memudahkan pelancong untuk mengunjungi pelbagai destinasi termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman. Destinasi yang mudah diakses menarik lebih ramai pelancong. Bersama ini, ia dapat memastikan pelancong dapat bergerak selesa dan selamat. Ini mengurangkan masa perjalanan dan rasa keletihan. Membolehkan mereka menikmati perjalanan tanpa perlu risau tentang kesesakan atau pun kualiti jalan yang teruk. Contohnya, perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat mengambil masa selama 3 jam atau lebih disebabkan kesesakan yang berlaku di persimpangan Kulai, persimpangan Ayer Hitam dan persimpangan Yong Peng. Akses jalan yang baik ke kawasan semula jadi seperti hutan simpanan dan air terjun perlu dinaik tarafkan bagi membangunkan memudahkan pembangunan eko pelancongan. Pada bulan lepas, saya telah melawat ke Air Terjun Sg. Batang Bekok dan Air Terjun Taka Melur. Kedua-dua air terjun ini mempunyai struktur alam yang indah dan keindahan suasana yang amat menyegarkan. Di sekeliling air terjun ini kita dapat menikmati pemandangan alam semulajadi yang hijau dan subur. Akan tetapi jalan akses yang sempit amat tidak menggalakkan pelancong terutamanya pelancong luar negara yang tidak biasa dengan jalan kampung. Orang-orang tempatan di kawasan Bekok dan Labis, sudah dimaklumkan bahawa keadaan jalan yang gelap dan sempit agak bahaya di sesi malam atau cuaca hujan.

Ini hanyalah dua destinasi pelancongan yang ada di negeri Johor sahaja. Apatah lagi tempat-tempat lain di sekitar Malaysia. Maka saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memandang berat tentang isu infrastruktur. Kerja-kerja naik taraf dan pembaikan perlu dijalankan dalam jangka masa yang tersingkat untuk bersiap sedia mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Dan menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai keindahan dan kepelbagaian budaya negara ini. Infrastruktur jalan raya yang baik memudahkan pergerakan perkhidmatan pelancongan seperti pengangkutan awam, teksi dan bas pelancong.Ini juga membantu operator pelancongan untuk menjalankan perkhidmatan dengan lebih efisien dan memberi pengalaman yang lebih baik kepada pelancong. Sistem jalan raya yang lengkap menjadi daya tarik kepada pelabur seperti membina kemudahan pelancongan seperti hotel dan resort. Ini akan menyumbang kepada perkembangan kepada industri pelancongan dan seterusnya menambah KDNK negara kita. Sekali lagi saya menegaskan, sistem jalan raya yang lengkap adalah tulang belakang bagi indusri pelancongan yang berjaya khususnya visi utama MOTAC untuk tahun 2026 adalah mengutamakan eko pelancongan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan negeri Johor akan menyambut Tahun Melawat Johor pada Tahun 2026, saya menyambut baik inisiatif yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat, namun saya ingin menegaskan supaya golongan pelancong warga emas dan orang kurang upaya jangan sesekali diabaikan.

Setakat hari ini, kebanyakan pusat pelancongan tempatan masih tidak dilengkapi dengan prasarana bagi golongan yang perlu diberikan prihatin ini. Contohnya, air terjun di Bekok perlu diperhatikan. Tiada kemudahan untuk golongan Orang Kurang Upaya direka. Manakala untuk Air Terjun Gunung Ledang, lorong laluan Orang Kurang Upaya yang telah dibina tidak lengkap untuk memudahkan OKU ke tebing air terjun. Ruang untuk laluan Orang Kurang Upaya di kaunter tiket juga agak sempit. Di samping pusat pelancongan, kita juga dapat memperhatikan bahawa rekaan prasarana untuk OKU di seluruh Johor adalah

kurang lengkap dan tidak memenuhi keperluan keboleh-aksesan yang ditetapkan oleh piawai tempatan dan antarabangsa. Di Malaysia, ia merujuk kepada garis panduan reka bentuk sejagat universal design dan MS11842014 kod amalan kebolehcapaian bangunan dan persekitaran untuk Orang Kurang Upaya. Spesifikasi ini bertujuan untuk memastikan laluan mesra OKU memenuhi standard keselamatan, kemudahan dan kebolehgunaan untuk semua golongan masyarakat.

Saya amat berharap Yang Amat Berhormat dan EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh memandang berat isu ini dan menitik beratkan golongan warga emas dan OKU dari segi pelaksanaan prasarana yang selesa. Penyediaan prasarana ini adalah sebahagian daripada usaha untuk membentukkan masyarakat inklusif, memastikan hak golongan OKU dihormati dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Sekian sahaja Perbahasan saya, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Jementah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sidang ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan disambung semula pada jam 2.30 petang

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Salam sejahtera, Salam Maju Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker. Bagi membuka tirai acara, patik dengan penuh takzim ingin terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sempena ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja sentiasa pada dalam kesejahteraan, dikurniakan kesihatan yang baik dan dilimpahi rahmat agar dapat terus menaungi patik-patik semua serta seluruh Bangsa Johor.

Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri atas usaha gigih dalam menyusun dan membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang boleh saya sifatkan sebagai sebuah langkah yang, strategi yang penuh kuasa, yang bakal memacu kemajuan negeri Johor di tahap yang lebih gemilang demi kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks Johor, kita semua sedar bahawa negeri ini memainkan peranan penting sebagai enjin pertubuhan ekonomi negara. Pada tahun 2023, ekonomi Johor berkembang 4.1 peratus mengatasi pertumbuhan nasional 36 peratus. Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah RM148.2 bilion, prestasi ini mencerminkan daya saingan dan keupayaan Johor untuk terus menuju ke pertumbuhan ekonomi negara. Tahun 2025, akan menjadi penanda asas penting bagi Johor, terutama dalam menyeimbangkan pembangunan ekonomi dan kesedaran sosial. Dalam menghadapi cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi dan perubahan iklim, belanjawan yang telah dibentangkan ini menggariskan pendekatan progresif, inklusif dan mampan bagi memastikan manfaat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melihat bahawa Johor berada di landasan yang tepat dalam memperkukuh asas ekonomi dan sosialnya. Dengan pelaburan yang semakin meningkat, sektor pembuatan yang berkembang pesat serta inisiatif strategi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapora, negeri ini terus melangkah ke hadapan. Di samping itu,

pelaksanaan projek-projek besar RTS Link umpamanya dan penciptaan dibuat ruang pekerja menunjukkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Johor. Namun, rancangan pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ini perlu bersifat menyeruluh dan memastikan masyarakat setempat tidak terpinggir. Saya turut mohon perincian tentang apakah manfaat khusus yang bakal diperolehi Pekan Nanas hasil daripada JS-SEZ yang mana sebahagian kawasan yang termasuk di dalam perancangan garis ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya turut mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana harus memberikan fokus kepada kebajikan rakyat Johor dalam Belanjawan Johor 2025. Saya amat memuji dan menyokong segala inisiatif yang telah dibentangkan dalam Teras Ketiga, Jaringan Keselamatan Sosial bagi menyantun golongan rentan di negeri ini. Namun begitu, saya berpandangan bahawa dapat ruang penambahbaikan yang lebih dilakukan bagi memastikan usaha ini mencapai keberkesanan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, mekanisme dan pelaksanaan program kebajikan perlu ditambah baik dengan memastikan menyampai bantuan lebih menyeluruh, berkesan dan bebas daripada karenah birokrasi jabatan kerajaan yang merumitkan pelaksanaannya. Jangan kita menyukar urusan mereka yang benar-benar memerlu bantuan. Mereka sudah pun berdepan berbagai kesukaran, jadi biarlah proses untuk mendapatkan bantuan ini mudah dan mesra untuk semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan penghargaan ditujukan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana mendengar cadangan yang telah dibangkitkan sebelum itu untuk terus memperkasa peranan Ketua-ketua Kampung serta menaikkan elaun pegawai masjid dan surau sebanyak 100 peratus. Mereka ini umpamanya tulang belakang kita yang sentiasa berkhidmat dengan penuh dedikasi. Dengan perhatian ini, kita memberi pengiktirafan kepada sumbangan besar mereka dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran masyarakat yang terjaga.

Ekonomi terus melonjak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kita dapat melihat perkembangan yang sama berlaku di Pekan Nanas. Populasinya yang semakin meningkat menyebabkan permintaan Rumah Mampu Milik semakin menjadi keutamaan di kawasan saya. Saban waktu pasti permohonan RMMJ di Pekan Nanas. Saya sambut baik rancangan kerajaan negeri menerima sebanyak 8,021 unit RMMJ menjelang tahun 2025. Saya turut difahamkan Pekan Nanas turut diberikan perhatian dengan cadangan pembinaan 30 unit RMMJ B di Taman Nanas oleh pemaju Tanabena Sdn. Bhd. Saya patut pandang 30 unit ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung permintaan tinggi penduduk Pekan Nanas. Saya ingin mencadangkan Kerajaan Negeri mengenal pasti satu kawasan khususnya di Pekan Nanas bagi membina RMMJ yang lebih menyeluruh. Saya pasti, ia ini akan, ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan penduduk tetapi juga memastikan pembangunan lebih teratur dan tersusun. Projek yang diluluskan pada 2007.

Yang Amat Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membawa perhatian kepada beberapa isu kritikal di kawasan saya yang masih tertangguh semakin lama disebabkan oleh urusan birokrasi pentadbiran dan kekangan penyaluran peruntukan. Projek jalan pintas dari jalan Sawah J113, Ulu Choh adalah projek yang cukup penting untuk mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di Pekan Nanas. Laluan sedia ada ketika ini sering menjadi tumpuan kenderaan berat yang bergerak antara Johor Bahru dan Tol Pulai di Lebuhraya PLUS. Selain itu, kenderaan ringan juga menggunakan laluan ini menyebabkan kesesakan terutama pada waktu puncak. Projek ini telah diluluskan pada tahun 2017 dengan kos asas RM28.8 juta. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri turut mengumumkan projek ini sewaktu lawatan beliau ke Pekan Nanas pada tahun 2022. Namun, saya dimaklumkan bahawa kos ini perlu disemak semula akibat naik harga bahan binaan. Penambahbaikan jalan-jalan, pembinaan jambatan, sistem saliran dan pengambilan tanah di tiga daerah iaitu Pontian, Johor Bahru dan Kulai. Saya ingin menegaskan bahawa isu ini telah saya berbangkit pada setiap kali Persidangan Dewan Negeri tetapi sehingga kini projek ini masih

belum dapat dilaksanakan. Oleh itu, saya menyeru kerajaan negeri memperuntukkan dana tambahan dalam Belanjawan Johor 2025 dan menyelesaikan urusan pentadbiran berkaitan agar projek dapat dimulakan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, satu projek yang tidak kurang pentingnya telah tangguh sejak hampir tiga tahun. Projek penggantian jambatan Kampung Sawah telah melalui dua kali lantikan kontraktor. Sepanjang tempoh tersebut, projek ini telah pada asasnya bernilai RM2.5 juta tetapi diberikan kepada Tetuan Alista Sdn. Bhd. pada 2018. Dia gagal disiapkan mengikut jadual dan kontraktor tersebut ditamatkan. Projek diteruskan dengan kontraktor baharu yang bernilai RM3.7 juta kepada Tetuan Rosya Dynamic Sdn. Bhd. Namun, hingga kini hanya mencapai 5 peratus kemajuan berbanding sasaran 35 peratus. Saya difahamkan bahawa kelewatan disebabkan masalah teknikal khususnya pengalihan paip Ranhill SAJ yang belum selesai mengakibatkan pertikaian kos dan isu pentadbiran. Saya mendesak agar Jabatan Kerja Raya Negeri segera membantu menangani isu teknikal dan pentadbiran yang menghalang kelancaran projek ini. Saya tidak mahu projek ini terus ditangguh dan dijadikan backfire kepada Wakil Rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kelewatan projek-projek kerajaan di kawasan saya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap keupayaan kerajaan negeri melaksanakan projek. Ibarat kata peribahasa, ke langit tak sampai, ke bumi tak nyata. Bukan ini sahaja, Pekan Nanas yang termasuk dalam pelabuhan JS-SEZ akan memberikan imej negatif kepada pelabur dan ini penting untuk kita pastikan projek-projek di tapak merasakan tepat pada masa supaya keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap kerajaan negeri kekal terjaga.

Yang Berhormat Datuk Speaker, beralih kepada isu pengurusan sisa domestik dan industri di kawasan saya. Masalah dia semakin serius, terutama dengan pesat pembangunan perumahan dan industri. Sistem pengurusan sampah yang tidak teratur kini menjadi beban besar. Kesesakan dan lambakan sampah semakin teruk terutama di kawasan black area yang tidak berada di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai contoh di kawasan perindustrian Teck Ho Pekan Nanas terdapat masalah serius pembuangan sisa industri yang tidak terkawal dan walaupun banyak aduan dibuat tindakan masih terbatas kerana kawasan tidak dalam kawasan tanggungjawab PBT.

Yang Berhormat EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga maklum bahawa SWCorp telah menunjuk masalah pembuangan sisa di kawasan industri Teck Ho dan kepada Pejabat Tanah pada Mei 2024. Namun, tidak tindakan lanjut diambil untuk menghalang pencerobohan tanah kerajaan. Turut dimaklum bahawa SWCorp tidak mempunyai kawalan ke atas tanah milik kerajaan atau individu dan hanya boleh menjalankan operasi terhadap pihak yang melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran. Saya difahamkan, setakat ini 3 kertas siasatan telah dibuka. Seorang pemandu syarikat telah didakwa dan 10 kes lagi sedang disiasat. Walaupun beberapa siri operasi telah dilaksanakan, masalah ini masih berlanjutan dan memerlukan tindakan segera. Selain itu, pembuang sisa domestik di kawasan luar bandar juga belum dapat diperhatian yang mencukupi. Penduduk terpaksa bergantung kepada inisiatif sendiri manakala tong sampah besar yang disediakan oleh PBT sering disalahgunakan oleh penduduk yang luar kawasan menyebabkan sampah bertaburan di jalan raya. Oleh itu saya menggesa agar tindakan tegas diambil untuk menyelesaikan isu-isu ini dengan segera. Selain itu, saya pendapat bahawa Akta sedia ada perlu disemak semula dan dikuatkuasakan dengan lebih efektif. Bagi memastikan masalah seperti ini tidak berulang pada hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Pekan Nanas ini menampung populasi lebih 50.9 ribu orang. Tidak termasuk lambakan pekerja asing. Hasil limpahan pembangunan Wilayah Iskandar. Namun Balai Polis Pekan Nanas yang dibina pada akhir 1980an hanya beroperasi dengan 28 anggota menjadikan perkhidmatan keselamatan Pekan Nanas agak diterbelakangan. Untuk maklum Datuk Speaker, balai polis ini di dalam keadaan uzur

dengan kerosakan serius dan bumbung bocor dan sistem pendawaian lama. Manakala, anggota-anggota tidak mencukupi dan kurang selesa. Peralatan pejabat pun dah sudah semakin lama semakin tidak naik taraf. Saya maklum bahawa perkara ini memerlukan pihak kementerian. Namun, saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu dan mengangkat perkara ini akan diberikan perhatian khususnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan Belanjawan Johor tahun 2024, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan tahun 2026 sebagai tahun Melawat Johor dengan menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong ke negeri ini. Namun saya ingin tanya apakah usaha kerajaan negeri dalam mengenal pasti dan mempromosikan Pekan Nanas sebagai destinasi pelancong? Dengan kedudukan Pekan Nenas yang strategik yang terletak di tengah-tengah antara Johor Bahru dan Pontian, yang menghubung Taman Negara Tanjung Piai, kawasan ini mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dalam agenda pelancong negeri. Selain itu, Pekan Nanas juga mempunyai banyak lokasi pelancongan swasta dan persendirian yang potensi seperti lokasi rekreasi yang sering menjadi tumpuan pelawat. Bukan itu sahaja, pada ketika ini Pekan Nanas sedang berusaha bagi mewujud jalan kebudayaan Pekan Nanas atau Pekan Nanas Street Art bagi mempromosi keunikan kawasan. Justeru adakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan khusus untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pekan Nanas dan apakah inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memastikan kawasan penerima limpahan manfaat daripada kempen Tahun Melawat Johor 2025.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum menutup perbahasan, saya ingin mengutarakan satu lagi isu, yang ketika iaitu masalah birokrasi dalam pengurusan panggilan kecemasan menerusi talian 999 saya menerima banyak aduan bahawa terdapat kelewatan dalam respond kes kecemasan melalui talian 999. Saya tak pasti, kelewatan ini berpunca daripada proses sering yang berlapis-lapis dan birokrasi sepertimana yang disebutkan oleh sahabat saya Yang Berhormat Kukup. Situasi ini memburukkan keadaan terutama dalam kes-kes kecemasan yang melibatkan ambilan dan memerlukan rawatan segera. Sekiranuya perlu menunggu sehingga 2 jam untuk sebuah ambulans sampai sedangkan klinik kesihatan hanya 5 minit perjalanan. Saya sedia maklum bahawa permasalahan ini bukan tanggungjawab negeri, namun penubuhan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor yang dipantau Pejabat Menteri Besar boleh berperanan sebagai perhubungan strategik dengan Kerajaan Persekutuan dalam membantu dan menangani isu yang birokrasi ini. Melalui integrasi data yang penyelarasan maklum serta aduan. Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses penyelesaian aduan tetapi juga memastikan kerajaan negeri dapat memainkan peranan aktif dalam memantau dan menyokong, menyelaras isu-isu rakyat secara holistik.

Timbalan Speaker

Masa Yang Berhormat.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Ok, dah last eh. Sebelum menutup bicara, sepertimana yang tersebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, The Star Have Finally Arrived In Johor melambangkan keyakinan terhadap potensi besar yang dimiliki Johor untuk terus memacu sebagai sebuah negeri yang makmur, sejahtera dan compatative di persada national serta antarabangsa. Saya percaya bahawa 6 teras Maju Johor dan 244 inisiatif Belanjawan Johor 2025 yang telah dirangka ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan inklusif dan lestari. Semoga negeri Johor terus dilimpahi keberkatan dan kejayaan demi kesejahteraan rakyatnya. Sekian terima kasih. Pekan Nanas mohon menyokong. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada pemerhati-pemerhati yang Bersama kita di sesi petang ini. Mereka adalah pemerhati yang dibawa oleh Yang Berhormat ADUN Kawasan Kempas seramai 17 orang yang terdiri daripada pelajar intern dan Johor Apprentice dari Pejabat Menteri Besar Johor. Yang keduanya adalah

pemerhati-pemerhati yang dibawa oleh Yang Berhormat ADUN kawasan Tiram seramai 21 orang yang terdiri daripada Veteran UMNO dan Ketua-ketua UMNO Cawangan Tebrau, Pegawai-pegawai Pusat Khidmat DUN Tiram, Penghulu dan Ketua Kampung Parlimen Tebrau, Pertubuhan Kebajikan Hadratul Dian dan Ahli Dewan Muda Johor Parlimen Tebrau. Dan yang ketiganya adalah pemerhati yang dibawa oleh Yang Berhormat DUN Kota Iskandar seramai 8 orang yang terdiri daripada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin, Ketua Kampung Kampung Melayu Gelang Patah, AJK UMNO Bahagian Iskandar Puteri dan Pegawai-Pegawai ADUN Kota Iskandar. Untuk itu saya jemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak Bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Bacaan Doa. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik serta seluruh warga DUN Kota Iskandar merafak sembah, menjunjung kasih dan ucapan selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Sempena Ulang Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada tanggal 22 November yang lalu. Patik dan seluruh warga DUN Kota Iskandar berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat-kerabat di raja dilanjutkan usia dalam keafiatan, sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah jua. Daulat Tuanku. Patik juga menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar merakamkan tahniah di atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2025 yang diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan penuh keazaman untuk terus membawa pembangunan, memastikan setiap warga dan lapisan Bangsa Johor mendapat kesejahteraan dari pelbagai aspek. Ditambah lagi dengan usaha membasmikan kemiskinan dan memastikan tiada rakyat Johor yang tercicir dari menikmati pembangunan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan ini Kota Iskandar ingin menyoroti impak projek mega seperti JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura), Forest City Special Financial Zone (SFZ) serta penambahan kawasan pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dalam kawasan DUN Kota Iskandar ini. Khususnya kepada kampung-kampung tradisi dan komuniti nelayan yang ada dalam DUN Kota Iskandar ini. Di Kota Iskandar terdapat 10 kampung tradisi dan komuniti nelayan yang bermula daripada Kampung Sungai Melayu, Kampung Tebing Runtuh, Kampung Pendas, Kampung Landar Tanjung Kupang, Kampung Kok, Kampung Tanjung Adang, Kampung Tiram Duku, Kampung Asli Simpang Arang, Kampung Melayu Gelang Patah dan Kampung Pulai. Yang mana mempunyai jumlah hampir 700 orang nelayan yang giat aktif sekarang ini. Kota Iskandar yakin bahawa projek JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura), Special Financial Zone (SFZ) dan pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ini akan membawa pelaburan asing yang besar serta meningkatkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi untuk rakyat Johor termasuklah penduduk-penduduk yang berada dalam DUN Kota Iskandar. Di samping itu, Pelabuhan Tanjung Pelepas yang diperbesarkan akan memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai Hub Logistik Global memberi limpahan ekonomi kepada kawasan yang sekitar. Projek ini akan merangkumi infrastruktur moden seperti sistem transit yang baru dan kemudahan pelabuhan bertaraf antarabangsa yang juga turut memberi manfaat kepada penduduk setempat. Oleh demikian, zon ini akan memperkenalkan teknologi pintar yang dapat memperkatakan kecekapan bandar seperti pemantauan keselamatan, pengurusan bencana yang lebih baik. Ini bersesuaian dengan cadangan PBT yang terlibat iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri menjadikan Kota Iskandar, Iskandar Puteri menjadi Smart City. Lokasi strategik JS-SEZ berhampiran dengan Singapura akan mewujudkan permintaan tinggi terhadap hartanah serta kediaman dan nilainya juga akan tinggi. Kota Iskandar

merasakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mungkin menghadapi sukar untuk membeli atau menyewa rumah terutama di sekitar zon pembangunan tersebut. Walau bagaimanapun, Kota Iskandar merasakan ada juga kesan-kesan negatif yang akan berlaku ke atas pelaksanaan tiga projek mega yang saya sebut tadi.

Pertama, ancaman kepada komuniti nelayan. Sebagai contoh, cadangan bagi pelaksanaan dua atau tiga pulau yang diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pagi tadi, buatan atas sokongan Forest City, JS-SEZ ini serta pembesaran pelabuhan PTP dan aktiviti-aktiviti penambakan laut akan mengakibatkan pengurangan kawasan menangkap ikan, menjejaskan mata pencarian mereka, nelayan-nelayan yang terlibat khasnya nelayan tradisional termasuklah sepuluh kampung yang terlibat yang sebagai mana tersebut di awal tadi. Dan ini juga meliputi kawasan YB DUN Kukup di Tanjung Piai. Di antara kampung-kampung yang akan terlibat adalah Serkat, Kampung Sungai Pelepat, Kampung Sungai Boh, Sungai Dina dan kampung-kampung yang berhampiran dengannya. Maka dengan itu, nelayan-nelayan ini akan menghadapi cabaran yang besar untuk bersaing dengan operasi komersial besar-besaran yang akan dilakukan oleh pihak pemaju.

Kedua, kemerosotan eko-sistem. Penambakan laut ini dan pencemaran air dari aktiviti pelabuhan PTP khasnya memberi kesan buruk kepada biodiversiti marin serta kualiti hidup penduduk kampung berhampiran. Ketiga, jurang sosio ekonomi. Mungkin tidak semua penduduk memanfaatkan peluang ekonomi serta pekerjaan yang sesuai daripada projek mega yang saya sebut sebentar tadi dan ini akan menyebabkan ketidakseimbangan sosio ekonomi di kawasan ini. Maka di Dewan yang mulia ini, Kota Iskandar mencadangkan, pertama, pampasan dan sokongan yang adil. Kita pastikan pampasan yang setimpal diberikan kepada penduduk yang terjejas termasuklah rumah gantian bagi kampung-kampung tradisi yang terlibat dengan pemindahan akibat pembangunan tersebut. Kita sediakan program pemulihan ekonomi nelayan seperti latihan kemahiran baharu atau pun bantuan untuk memodenkan peralatan menangkap ikan. Yang ketiga, kelestarian alam sekitar. Perlu melaksanakan kajian impak alam sekitar secara menyeluruh sebelum pembangunan akan dilakukan. Perkenalkanlah zon perlindungan marin untuk memelihara biodiversiti dan habitat laut. Seterusnya, melibatkan komuniti setempat dalam setiap fasa perancangan dan pembangunan untuk memastikan kepentingan mereka ini tidak diabaikan serta penambahbaikan infrastruktur sosial yang baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pembangunan adalah satu keperluan tetapi ia perlu dilakukan secara inklusif, lestari dan seimbang. Kota Iskandar menyeru agar kerajaan memperhalusi pelaksanaan projek-projek ini supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua tanpa mengorbankan komuniti yang telah lama menjadi nadi di kawasan tersebut. Saya ingin bertanya kepada Datuk, Yang Berhormat Datuk Speaker, Datuk Speaker pernah tak pergi Busan?

Speaker

Tak pernah.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Tak pernah, oleh itu Datuk Speaker selepas kita dapat bonus dua bulan gaji, saya pelawa YB Datuk Speaker pergi ke Busan. (Dewan bertepuk). Saya ingin memberi contoh Busan ini kerana ada satu kampung nelayan yang dinamakan Cheongsapo Fishing Village. Dulu kampung ini nelayan YB Datuk Speaker tetapi Kerajaan Korea dengan bijaksana memindahkan nelayan ini ke tempat yang baharu tetapi mengekalkan suasana nelayan yang lama dikekalkan. Cuma ditambahbaik dari segi pengkalan dan sebagainya. Kewujudan nelayan ini berterusan walau pun port, port ini, port village ini disediakan tetapi masyarakat nelayan tak berubah. Ramai pelancong datang di sini. Mereka pun menggunakan enjin dan bot yang sama seperti di Sungai Masai, DUN Permas. Enjin 30 hose power dengan bot fiber dan ini tidak mengubah pun dari segi penghidupan nelayan mereka dan boleh menambah pendapatan mereka. Inilah yang patut kita contoh. Mereka pun menggunakan bubu, mereka menggunakan jaring, mereka pun menggunakan pukat dan kerajaan mereka tidak menjauhkan diri mereka dari segi

pembangunan. Jadi boleh YB Datuk Speaker, pada lain kali kita pergi Cheongsapo Fishing Village ini.

Kota Iskandar juga ingin menyampaikan hasrat rakyat di Kota Iskandar menyentuh tentang keselamatan perairan kita supaya terjamin disamping tiga projek mega semasa pelaksanaan projek JS-SEZ, Special Financial, SFZ dan pengembangan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Aktiviti di perairan Johor Bahru perlu dipantau dengan lebih ketat melalui kerjasama antara agensi seperti Jabatan Laut, Maritim Malaysia, Polis Marin, Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia yang memerlukan penggunaan teknologi tinggi seperti sistem radar dan pengawasan dron bagi memantau di kawasan perairan strategik dan serta mengelakkan penyeludupan pencerobohan ancaman luar. Sebagai contoh, saya diberitahu bahawa kerajaan Singapura telah mempunyai satu sistem mengesan dan memintas sebarang pencerobohan teknologi dron yang dikenali sebagai Jammers Teknologi.

Kerajaan negeri perlu mengambil kira aspek keselamatan fizikal dan sosial termasuk memastikan tiada ancaman fizikal kepada komuniti tempatan terutamanya nelayan dan penduduk kampung tradisional ini sebagai contoh tragedi nelayan tradisional dihalau oleh polis Coast Guard Singapura beberapa bulan yang lalu. Walaupun mereka berada di perairan kita sendiri. Oleh itu, kerjasama Johor - Singapore dalam kontak JS-SEZ ini perlu ada kesefahaman untuk meningkatkan kerjasama keselamatan dan kawalan sempadan maritim termasuklah pengurusan laut serta rentas sempadan. Kota Iskandar mengharapkan kerajaan begitu komited memastikan keselamatan perairan negara tidak boleh dikompromi kerana ia melibatkan masalah kedaulatan negara. Namun keberkesanan langkah-langkah ini memerlukan pelaksanaan yang teliti, pemantauan yang berterusan dan penglibatan aktif semua pemegang taruh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar mencadangkan dari segi keselamatan perlu menaikkan taraf IPD Iskandar Puteri. Ianya penting untuk menyokong pembangunan mega ini memastikan keselamatan penduduk, pelabur dan infrastruktur ekonomi kekal terjamin dalam jangka masa panjang. Ianya akan menyakinkan lebih banyak pelabur untuk melabur di kawasan kita ini. Projek JS-SEZ dan Forest City ini dijangka menarik ramai penduduk baharu termasuklah pekerja tempatan dan antarabangsa. Aktiviti ekonomi seperti logistik, pelancongan dan pelaburan di kawasan ini mungkin jumlah kes akan datang bertambah dan memerlukan perhatian yang lebih daripada pihak polis.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam Dewan yang mulia ini, Kota Iskandar ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri melalui EXCO Kerajaan Perumahan Tempatan kerana telah menyediakan sebanyak 2,000 unit rumah murah mampu milik Kerajaan Johor yang diadakan di Kota Iskandar. Untuk makluman Dewan yang mulia ini 1,000 unit akan dibagikan kunci pada tahun 2026 kepada pemilik-pemilik yang berjaya. Oleh itu, kita mengharapkan lebih banyak lagi rumah-rumah murah yang mampu dibeli oleh masyarakat dan orang muda supaya mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan Kota Iskandar ini. Sebagai contoh, ramai anak muda, Orang Muda Johor akan datang Yang Berhormat Datuk Speaker mungkin tidak boleh kahwin atau tak nak kahwin kerana tidak mampu untuk membeli rumah. Sekarang rumah RM150,0000.00, RM250,000.00, RM350,000.00, RM300,000.00 sedangkan mereka terpaksa menyara selepas belajar, mempunyai kerja yang gaji yang tidak berapa tinggi. Ini pernah dilahirkan oleh perjumpaan Orang Muda Johor bersama Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. Hingga kita terkejut ada seorang menyatakan mungkin kami tidak boleh kahwin dahulu kerana tiada rumah untuk menyara bakal isteri dan keluarga di masa akan datang. Jadi saya mengharapkan bagi pihak Kota Iskandar ini perbanyakkanlah bukan sahaja di Kota Iskandar mahu pun di daerah-daerah Johor Bahru yang ada lima Parlimen, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, begitu juga dari segi infrastrukturnya, Kota Iskandar menyarankan ada kajian terperinci kepada kontraktor atau pun konsensi-konsensi yang mendapat kerja untuk pemulihan dan penyelenggaraan jalan. Terima kasih kepada EXCO yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kerja-kerja yang nak dijalankan itu mengikut spec dan lunas-lunas yang diperlukan. Ini menjadikan satu berita yang kurang baik apabila projek dijalankan, besok dah gali lubang, tambak dan sebagainya. Ini mencacatkan imej kita untuk memastikan Johor Maju pada tahun 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar juga mengucapkan banyak terima kasih kepada UEM Sunrise Berhad yang telah memberikan 15 ekar tanah bagi membina sebuah klinik kesihatan yang baharu di Gerbang Nusajaya seperti mana yang, Yang Berhormat EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar dalam sesi jawab balas soalan Kota Iskandar kelmarin. Terima kasih juga kepada Sunway, bakal menyerahkan tanah seluas 9.225 ekar, csr nya kepada Kerajaan Negeri demi mengekalkan aktiviti ekonomi penduduk kampung Pendas dan sekitarnya. Bukan sekadar penyerahan tanah, saya juga telah dimaklumkan bahawa pemaju itu sendiri akan membina pasar awam dan medan selera yang ikonik setaraf dengan pembangunan Sunway City Iskandar Puteri yang seterusnya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri untuk diuruskan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Benut yang memula mengusulkan idea ini semasa beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Tidak dilupakan kepada PBT yang banyak berjasa menabur khidmat dari segi pembangunan dalam Kota Iskandar iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, IRDA, Iskandar Investment Berhad, IIB dan Tourism Johor kerana telah menyokong dan menyumbang dalam pembangunan eko pelancongan di kampung Sungai Melayu. Ia merupakan sokongan yang kuat daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor untuk memastikan eko pelancongan Kampung Sungai Melayu menjadi salah satu tarikan tempat pelancong semasa Tahun Melawat Johor 2026 ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk mengakhiri perbahasan mengenai Bajet 2025 Johor ini, Kota Iskandar ingin menzahir penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, pegawai-pegawai kerajaan di atas komitmen merangka Bajet yang inklusif, berpandangan jauh yang membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi untuk mengutamakan kepentingan kita bersama. Kota Iskandar megah berseri pusat pembangunan penuh gagasan, Bajet dilakar untuk negeri, kemajuan dicapai demi kesejahteraan. Dengan ini Kota Iskandar menyokong, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Dijemput Yang Berhormat Maharani.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera (Doa). Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu Maharani ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi laluan untuk membahaskan ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi selaku Menteri Besar Johor pada Belanjawan Johor 2025. Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan rahmatNya berlangsungnya Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 kali ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW yang menjadi pedoman di dalam kehidupan kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini Maharani ingin merakamkan ucapan Selamat Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik juga berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Agong Johor serta keluarga kerabat DiRaja dilimpahi rahmat serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi Bangsa Johor sekalian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin saya memulakan perbahasan dengan memetik firman Allah SWT di dalam Surah Al-A’raf, ayat yang ke-96 yang berbunyi (bacaan Firman) yang bermaksud “Sekiranya penduduk di negeri ini beriman serta bertakwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan dari bumi tetapi mereka mendustakan Rasul kami, lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan ini Maharani merakamkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas Pembentangan Belanjawan Johor 2025 pada Persidangan kali ini. Maharani menyambut baik pembentangan bajet ini dan ingin menyentuh beberapa perkara dengan persoalan dan cadangan penambahbaikan. Unjuran hasil sebanyak RM2 bilion dan unjuran perbelanjaan sebanyak RM1.9 bilion menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam mengurus tadbir kewangan negeri ini. Sekali lagi tahniah atas pengurusan yang cekap di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama barisan EXCO dan seluruh pegawai kerajaan yang menjayakan. Belanjawan surplus sebanyak RM5.12 juta boleh dijadikan amalan dan contoh yang terbaik kepada sebuah kerajaan kerana menggunakan Belanjawan dengan secara berhemah. Lebihan ini pula, insya-Allah boleh membantu waktu darurat ataupun kecemasan. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Kerajaan Negeri Johor yang mempunyai lebihan bajet selama dua tahun berturut-turut. Bajet yang menyentuh semua aspek dengan 6 Teras dan 224 Inisiatif akan dapat dilaksanakan dengan jayanya hasil daripada kerjasama dan muafakat semua pihak. Bak kata pepatah melayu, muafakat membawa berkat dan selari dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Imran ayat 103 yang berbunyi (bacaan firman), “Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai”.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar turun padang untuk menyelesaikan sebarang permasalahan amat dirasai oleh masyarakat. Contohnya, Semarak Subuh, Dapur Kasih dan seumpamanya yang mendapat sentuhan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri memberi hasil yang baik dalam memajukan rakyat di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam inisiatif ketiga puluh satu, Maharani ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor kerana telah menambah baik program Semarak Subuh dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta dan dilaksanakan di semua 56 DUN. Diharapkan agar program ini tidak menjadi bebanan kepada pihak masjid atau surau, pihak jabatan-jabatan dan agensi kerajaan kerana Semarak Subuh ini memberi impak yang cukup baik dan di waktu inilah Wakil Rakyat dapat bertemu dengan masyarakat, mendengar segala rintihan dan permasalahan untuk mengeratkan lagi silaturahim. Permasalahan yang berlaku ada di antara warga setempat ini hanya hadir beramai-ramai sewaktu Program Semarak Subuh, tidak pada waktu-waktu yang lain. Tambahan pula, wakil-wakil daripada jabatan juga kebanyakannya tidak konsisten hadir kemungkinan disebabkan kekangan tugas di jabatan masing-masing. Mulai tahun 2025, Semarak Subuh bakal dilaksanakan dua kali seminggu, sudah tentu akan melibatkan hari bekerja bagi penjawat awam dan juga ahli kariah. Dan mungkin insya-Allah, ada satu modus operandi daripada pihak kerajaan bagi memantapkan lagi program berkenaan dan Maharani menyarankan supaya kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat mengikuti perancangan tersebut dengan baik. Maharani juga mohon kerjasama daripada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan ikut turut serta bersama di dalam Program Semarak Subuh bagi merealisasikan “Maju Johor Rakyat Sejahtera”.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah inisiatif ketiga puluh iaitu Memperkukuhkan Tadbir Urus Syiar Islam. Kutipan zakat sebanyak RM286.7 juta telah dikutip untuk diagihkan kepada golongan yang berkelayakan. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, guru Al-Quran yang berdaftar di daerah Muar yang mempunyai tauliah adalah seramai 281 orang, di mana 29 orang guru Al-Quran Khas dan 252 orang guru Al-Quran Am. Maharani mencadangkan supaya agihan daripada kutipan zakat ini dapat diberikan kepada tenaga pengajar Al-Quran Am dengan menaikkan elaun dari RM350.00 kepada RM500.00.

Manakala guru Al-Quran Khas daripada RM550.00 kepada RM800.00. Mereka ini adalah termasuk antara golongan asnaf yang layak menerima zakat fisabilillah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani ingin mengajukan terdapat sebuah Pusat Aktiviti Agama Islam bagi guru-guru Al-Quran ini yang terletak di Madrasah Abbasiyah, Lorong Isnin, Jalan Dato’ Haji Kosai, Muar. Madrasah ini mempunyai satu bangunan yang perlu dibaik pulih kerana tidak boleh menampung kapasiti serta dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan perkara ini dalam makluman Pejabat Kadi Muar dan juga Majlis Agama Islam Daerah Muar yang mana kos baik pulih dianggarkan sebanyak RM250,000.00. Maka Maharani merujuk kepada inisiatif kedua puluh sembilan, iaitu Projek Membaik Pulih Sekolah Agama supaya dimasukkan Madrasah Abbasiyah ini di dalam senarai sekolah yang layak menerima peruntukan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dalam pelaksanaan solat Jumaat yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dan pekerja-pekerja di sektor awam dan swasta supaya dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa. Kebenaran dalam menunaikan solat Jumaat di surau sekolah atau dewan-dewan sekolah sangat-sangat dialu-alukan bagi memudahkan warga sekolah menunaikan solat Jumaat serta dapat melakukan ibadah solat dengan khusyuk kerana waktu yang diperuntukkan lebih panjang bermula dari 12 tengah hari hingga 2 petang. Oleh itu, tiada sebab umat Islam tidak boleh menunaikan solat Jumaat. Maharani mengharapkan supaya pihak pejabat agama dapat membuat pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang bagi umat Islam yang tidak solat Jumaat. Yang kedua, penutupan gerai-gerai serta warung-warung tepi jalan turut dikuatkuasakan. Hentikan urusan jual beli semasa solat Jumaat berlangsung dan yang seterusnya pihak majikan terutamanya kilang-kilang hendaklah membenarkan pekerja Islam menunaikan solat Jumaat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif yang ketiga puluh dua dan tiga puluh tiga, Rumah Mampu Milik Johor dan Rumah Residensi Bangsa Johor yang diperuntukkan di Seri Menanti. Projek ini adalah projek yang baik. Namun, Maharani mengharapkan ada sebahagian daripada peruntukan bagi projek yang dicadangkan ini dapat dilaksanakan di DUN Maharani untuk keperluan rakyat terutamanya golongan B40 dan juga golongan belia. Isu perumahan ini telah pun banyak kali Maharani sebut dan ulang di dalam Persidangan yang lepas tetapi sehingga sekarang masih belum lagi kita dapat projek perumahan di DUN Maharani. Terdapat banyak lot perumahan yang tidak terjual kerana harganya yang terlalu mahal. Mereka hanya mampu tengok. Bagi rakyat negeri ini terutama yang belum memiliki rumah pertama, cadangan Maharani supaya diwujudkan satu pelan tindakan yang dapat membantu belia memiliki rumah yang tidak terjual ini sama ada melalui yayasan ataupun bantuan pinjaman bagi memastikan mereka mampu memiliki rumah pertama kerana kebajikan bukan hanya sara hidup tetapi juga memiliki sebuah rumah dan tempat berteduh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, merujuk kepada inisiatif yang keenam, teras kelima, Menaik Taraf Sistem Perparitan, Longkang Serta Pembentungan. Maharani mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) yang telah pun menjalankan tugas mengikut jadual yang telah diberikan. Semua sedia maklum di dalam negeri Johor ini terutamanya di daerah Muar banyak terdapat parit dan sungai. Bagi menceriakan lagi kawasan perparitan ini, Maharani mencadangkan peruntukan untuk membaiki tanda nama kampung, tanda nama sungai yang telah pun rosak dan usang di daerah Muar ini dapat diselenggarakan dan dapat disegerakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif yang kelapan, berdasarkan peruntukan naik taraf 9 pintu air berjumlah RM3.03 juta. Terdapat dua pintu air di Muar yang perlu dinaiktarafkan. Maharani mohon peruntukan baik pulih pintu air satu-satunya yang terdapat di Parit Bakar Laut supaya disegerakan kerana telah mengalami kerosakan sekian lama menyebabkan kawasan sekitar sering dilanda banjir dan merosakkan kebun penduduk setempat. Perkara

ini telah pun dibawa di dalam Persidangan yang lalu dan sebelum ini supaya dapat diambil tindakan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani menyambut baik saranan bantuan kewangan bulanan dan bantuan am melalui Teras Jaringan Keselamatan Sosial. Maharani mencadangkan peruntukan kepada warga emas sebanyak RM600.00 daripada Kerajaan Persekutuan ini juga hendaklah disalurkan kepada pakatan Persatuan Pemandu Teksi Bandar Maharani yang mempunyai keahlian seramai 70 orang dan kebanyakan mereka ini terdiri daripada warga emas serta tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Isu pemandu teksi ini telah pun Maharani bangkitkan beberapa kali di dalam Dewan ini, namun sehingga kini belum ada penyelesaian dan tindakan. Pemandu teksi di Muar masih mengadu atas kesempitan sara hidup mereka dan bersaing dengan e-hailing. Pemandu teksi diharapkan boleh dilibatkan dalam perancangan memajukan bandar terutamanya di dalam aspek pelancongan, Maharani bersetuju dengan cadangan daripada Puteri Wangsa dan juga Bukit Batu menjadikan pemandu teksi ini agen pelancongan menuju Tahun Melawat Johor 2026.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani mohon merujuk kepada inisiatif yang ke-20, Teras Ketiga iaitu Program Pemulihan dan Kemahiran Pelatih OKU. Sebelum ini pernah Maharani timbulkan isu elaun guru-guru atau kakitangan di Pusat Dalaman Komuniti (PDK) yang hanya diberikan elaun sebanyak RM200.00 daripada Kerajaan Negeri dan RM1,200.00 sebulan daripada kerajaan pusat. Untuk makluman seramai 15 orang tenaga pengajar dan seramai 40 orang pelatih OKU yang terletak di PK Parit Keroma yang perlu dibantu. Elaun ini tidak pernah dinaikkan sekian lama daripada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat walaupun nilai sekarang gaji minimum akan, minima akan dilaksanakan RM1,700.00 mulai tahun hadapan. Jadi, ada baiknya peruntukan ini diberikan kepada guru-guru PDK yang mempunyai jasa yang besar dan membantu melatih OKU dengan nilai daripada RM200.00 kepada RM500.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga membawa keluhan daripada penduduk taman perumahan sekitar Bandar Maharani berkaitan dengan kadar tambah nilai cukai harta yang dikenakan antara 70 peratus hingga 100 peratus. Ini disebabkan harga rumah yang melebihi 10 tahun telah pun diselaraskan nilai tambah mengikut harga semasa. Contoh, rumah yang dibeli pada tahun 2005 bernilai RM135,000.00 dengan kadar cukai 0.1 peratus, cukai yang dikenakan ialah RM135.00. Nilai rumah tersebut sekarang telah pun meningkat kepada RM293,000.00 dengan kadar cukai 0.08 peratus menjadikan cukai harta setahun telah meningkat kepada RM234.40.

Kenaikan sebanyak RM99.40. Maharani mencadangkan agar kenaikan cukai antara 0.02 peratus hingga 0.3 peratus bagi meringankan beban rakyat yang ada pada hari ini.

Suasana hari ini, rakyat terbelenggu dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barang yang tidak terkawal, beras tempatan yang tidak ada di dalam pasaran, ditambah pula dengan cukai kepada rakyat yang tinggi menambahkan lagi bebanan kewangan, mohon dipertimbangkan semula, mohon dipertimbangkan semula selagi masih di dalam kawalan Kerajaan Negeri.

Dan Maharani juga mengambil kesempatan, dengan rendah diri memohon peruntukan tambahan kepada Yang Berhormat ADUN Pengimbang untuk menyantuni masyarakat terutamanya di hari-hari raya dan pada waktu program Back To School, urusan pejabat dan seumpamanya. Dan Maharani juga mengharapkan agar peruntukan RM200,000.00 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada semua 56 ADUN dapat dilaksanakan dengan adil tanpa membezakan antara ADUN Kerajaan dan ADUN Pengimbang. Semoga peruntukan ini dapat membantu masyarakat yang memerlukan di DUN masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata, sebelum Maharani menutup perbahasan ini. Maharani ingin menyeru kepada seluruh Ahli-ahli Dewan yang mulia ini supaya saling

bekerjasama dan bermuafakat, berkongsi supaya segala pembangunan dapat dijalankan dan dilakukan dengan saksama supaya negara Johor ini sentiasa diberkati oleh Allah dan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT. Sederap bicara ditutur, sederap langkah diatur, sederap budi dihulur, sederap bakti ditabur. Dengan ini Maharani menyokong pembentangan Belanjawan 2025 yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Sekian wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumusalam. Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Selanjutnya di jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirahmanirrahim. (Bacaan Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera. Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan bajet pada petang ini. Simpang Jeram juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Machap selaku Menteri Besar Johor kerana dapat membentangkan Bajet Prihatin Rakyat bagi tahun 2025 yang bertemakan “Maju Johor Rakyat Sejahtera”.

Dihujung tanjung kelam lembayung, tinggi mengayat pohon Cenangi; Raja disanjung rakyat dipayung, kasihnya rakyat tidak berbagi. Simpang jeram merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November yang lalu. Patik serta rakyat Simpang Jeram sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja sekalian dilanjutkan usia serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik, rakyat Simpang Jeram dan Bangsa Johor sekaliannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor telah berjaya menarik lebih 50 Pusat Data dalam tempoh 2 tahun ini dan pertumbuhan pesat dalam industri ini menunjukkan keupayaan Johor menjadi hab Pusat Data baru di Asia. Tahniah juga sekali lagi kepada Yang Berhormat Machap atas daya usaha yang bersungguh-sungguh ini bagi memastikan Johor terus maju dan berupaya mendapatkan peluang pekerjaan baru kepada anak-anak muda Johor. Ia suatu anjakan baru dalam Era Revolusi Industri Keempat IR4 dengan izin, yang perlu dilakukan bagi meraih pelabur lebih bermakna. Ia juga turut membuktikan bahawa teknologi analitik data raya adalah antara model perniagaan digital baru dan sedang menjadi norma baru dalam bidang perniagaan serta menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa bersyukur kerana negeri Johor merupakan salah satu destinasi pelaburan ini. Atas faktor negeri Johor berhampiran dengan Singapura dan juga kedudukannya yang berpotensi menjadi cabel landing station dengan izin, atau ringkasnya CLS kepada rangkaian perhubungan telekomunikasi kabel bawah laut. Ianya merupakan satu pelaburan yang besar kepada negeri Johor di mana satu data center boleh mencecah pelaburan sehingga RM2 billion. Isu ketidakcukupan bekalan elektrik dan bekalan air bersih telah menjadi polimik dan kegusaran masyarakat setempat apabila Pusat Data ini memulakan operasinya. Simpang Jeram yakin isu bekalan elektrik atau bekalan air yang dikhuatiri tidak mencukupi bila data center beroperasi telah pun ditangani dengan sebaiknya. Peranan SAJ dalam soal bekalan air dan Johor Special Water dengan ringkasnya JSW amat diperlukan. Justeru itu, garis panduan perancangan pembangunan Pusat Data oleh PLAN Malaysia Johor telah pun mengambil kira keperluan berkaitan isu-isu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Machap atas komitmen beliau menjanjikan pendapatan bulanan bagi pemegang Diploma RM4,000.00 manakala pemegang Ijazah tidak kurang daripada RM5,000.00 sebulan apabila bekerja di Pusat Data dan dalam kawasan Zon Ekonomi Khas. Saya percaya peluang ini tidak akan dilepaskan dan insya-Allah ianya mengurangkan lagi penghijrahan anak-anak muda Johor ke negeri jiran untuk mencari peluang pekerjaan dan pendapatan bulanan yang lebih baik. Bagi memastikan peluang pekerjaan ini diberi keutamaan kepada rakyat Malaysia, maka Simpang Jeram mencadangkan pemilik Pusat Data ini disyaratkan mengambil pekerja mahir tempatan sekurang-kurangnya 70 peratus dan keutamaan diberikan kepada anak-anak negeri Johor. Difahamkan pada ketika ini, kebanyakan pekerja mahir ini datang daripada Singapura, China, USA dan Australia. Perkara ini turut sama menjadi kebimbangan Pulai Sebatang. Alhamdulillah sebagaimana kenyataan balas YB Paloh, Kerajaan Persekutuan telah menetapkan kuota 80 nisbah 20 di mana 80 peratus minima adalah pekerja tempatan untuk sektor mahir dan separuh mahir.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjaga kepentingan negara perlu juga dinyatakan dalam syarat-syarat kelulusan supaya semua bahan-bahan binaan hendaklah dibeli di Malaysia kecuali bahan-bahan binaan yang tiada dalam pasaran tempatan bolehlah diperolehi daripada luar. Simpang Jeram juga dimaklumkan kebanyakan barang-barang binaannya seperti besi dibawa dari luar negara dan ini tidak memberi ruang serta peluang kepada pembekal tempatan. Simpang Jeram juga berharap pembangunan Pusat Data ini dapat dikembangkan di daerah-daerah lain terutamanya ke Muar. Pada masa ini, ianya hanya tertumpu di Johor Bahru dan Kulai sahaja. Justeru itu, kabel optik berkelajuan tinggi dan 5G perlu diperluaskan ke daerah-daerah lain untuk menarik pelabur baru ini. Pihak kerajaan perlu memberi pertimbangan menyediakan kemudahan kabel dasar laut yang disambungkan ke daerah Muar. Pada ketika ini kabel dasar laut hanya ada di Sedili, Pengerang dan Batu Pahat. Kemudahan infra sangat penting untuk menarik minat pelabur-pelabur masuk ke Muar. Saya, ianya selaras dalam menyahut seruan Kerajaan Madani menerokai AI lebih agresif.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Tambun, dalam pembentangan Bajet Kerajaan Persekutuan mengingatkan, pelaburan Pusat Data tidak sepatutnya menjadi rebutan sekiranya ia tidak memberi tambahan kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan, pendapatan tinggi dan perkongsian kepakaran. Maka pendekatan, maka penekanan harus dilakukan supaya galakan yang diberikan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara dan tidak hanya lebih menguntungkan syarikat pelabur sahaja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu bangunan kuarters kediaman Kerajaan Negeri yang tidak didiami dan terbiar pernah saya bangkitkan dalam Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 pada bulan Mei yang lalu. Dalam jawapan bertulis yang diberikan pada ketika itu, terdapat 1,198 unit Kuarters Kerajaan Negeri yang telah dibangunkan sehingga tahun 2024. Daripada bilangan tersebut sebanyak 1,062 unit dikategorikan selamat untuk diduduki manakala 136 unit lagi tidak selamat untuk didiami. Bagi memastikan bangunan-bangunan ini berada dalam keadaan yang terjaga, maka pada tahun 2024 ini sebanyak RM6,866,000.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi kerja-kerja baik pulih dan menyelenggara kuarters-kuarters ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana cakna dengan keadaan ini. Walau bagaimanapun saya percaya dan yakin masih terdapat banyak lagi unit-unit kuarters yang masih lagi kosong dan tidak didiami. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya amat tertarik dengan pembentangan bajet kerajaan persekutuan bagi tahun 2025, dimana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja komited melaksanakan kerja-kerja baik pulih bangunan malahan apa yang menariknya bangunan yang telah dibaik pulih diperluaskan kegunaannya untuk dijadikan pusat taska, prasekolah, pusat latihan kemahiran, TVET dan boleh digunakan oleh lain-lain kementerian. Ianya tidak

lain tidak bukan bagi mengelakkan bangunan-bangunan Kerajaan Persekutuan ini terus terbiar kosong.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengharapkan pihak Kerajaan Negeri dapat mengambil semangat Kerajaan Persekutuan ini untuk dilaksanakan di negeri Johor Darul Takzim. Bangunan-bangunan kediaman di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri dapat dijadikan pusat taska dan seumpamanya atau dijadikan rumah-rumah transit kepada mereka yang memerlukan khususnya pada golongan B40, M40 dan anak muda yang baru mendirikan rumah tangga. Yang Berhormat Datuk Speaker, kenapa saya bawa isu ini buat kali keduanya? Buat makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, acapkali saya menerima aduan bangunan kuarters terbiar dan keluhan dari golongan B40 dan M40 kerana tidak mampu menyewa rumah. Kisah Encik Aman bin Yusof dan isteri sebelum ini tinggal di rumah pusaka ibu bapa dan terpaksa keluar dari rumah tersebut kerana telah dijual oleh ahli keluarganya yang lain. Keadaan kesihatan Encik Aman yang tidak begitu baik lebih-lebih lagi hanya bekerja sebagai buruh binaan, maka beliau tidak mampu untuk menyewa rumah yang rata-ratanya kadar sewaannya lebih daripada RM500.00 sebulan. Akhirnya, mereka berdua menjadikan rumah kosong, bangsal, kaki lima sebagai tempat mereka melepaskan kelelahan apabila malam tiba. Puan Norjah binti Ibrahim bersama suami berserta tiga orang anak terpaksa menumpang kasih di rumah kakak iparnya kerana tidak lagi mampu menyewa. Pendapatan bulanan suami yang tidak menentu ditambah pula kesihatan beliau yang semakin menurun serta dua orang anak mereka yang berstatus OKU menambah lagi kekangan kewangan keluarga. Walaupun difahamkan kedua-dua anak OKU mereka menerima bantuan bulanan daripada kebajikan masyarakat yang berjumlah RM300.00 setiap orang, namun kos sara hidup yang kian meningkat tidak memungkinkan mereka menyewa rumah pada kadar sewaan yang tinggi buat masa ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang saya bawa pada hari ini hanyalah dua kisah daripada banyak kisah. Kita dianugerahkan Allah dapat tinggal di rumah batu yang selesa dilengkapi pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang serba lengkap, namun kadang kala kita alpa kepada sahabat, kawan, jiran, kenalan dan mereka yang kurang bernasib baik ini. Walaupun di bawah teras ketiga inisiatif kelapan sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan bagi bantuan sewa rumah dalam Belanjawan 2025, tetapi ia hanya melibatkan hanya 104 penyewa asnaf sahaja. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya dan yakin dengan terlaksanakan inisiatif ini bukan sahaja kita dapat membantu meringankan beban kehidupan dan kewangan mereka. Mudah-mudahan ianya juga menjadi suatu amalan baik dan insya-Allah mendapat keredhaan Allah jua hendaknya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rokok elektronik ataupun vape dilihat alternatif peralihan rokok berasaskan tembakau. Permintaan yang tinggi rokok elektronik ini boleh diperolehi dengan pelbagai perasa atau perisa. Rokok elektronik ini mudah dibawa kemana-mana dan mudah untuk dinikmati. Oleh sebab itu, ianya menjadi kegemaran dan pilihan anak-anak muda. Dalam isu ini kerajaan pusat mengambil pendekatan kawal penggunaan vape ini menerusi Akta Kawalan Produk Merokok dan Kesihatan Awam 2024 di bawah Akta 852 yang telah dikuatkuasakan mulai 1.10.2024 berbanding mengharamkannya secara total.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kebimbangan peluasan penggunaan vape ini telah dilahirkan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda melihat antara punca golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung didapati bermula dengan penggunaan vape. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Safar 1437 bersamaan 07 Disember 2015 telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi “Menghisap vape adalah haram kerana ianya suatu amalan yang bertentangan dengan hukum syarak”. Justeru itu Johor telah menjadi negeri terawal melarang dan tidak membenarkan penjualan rokok elektronik, vape berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun vape dianggap sebagai alternatif kepada rokok tradisional, sebenarnya ianya memberi kesan yang amat buruk kepada penggunaannya. Baru-baru ini kita digemparkan dengan pengambilan vape yang berperisa cendawan. Dimana kandungan bahan kimianya boleh mempengaruhi otak dan menyebabkan halusinasi dan perubahan persepsi. Ianya menimbulkan kecelaruan mental, kebimbangan melampau dan gangguan pemikiran. Bahan halusinogenik di dalam perisa cendawan boleh menyebabkan kebergantungan psikologi dimana kebanyakan pelajar mula menggunakan bahan ini untuk melarikan diri dari tekanan atau masalah harian. Penggunaan vape berperisa ini menyebabkan pelajar terasing dari rakan dan keluarga kerana tingkah laku mereka akan berubah dan sukar dikawal. Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram secara peribadi mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Johor bukan sahaja setakat melarang penjualan vape tetapi seharusnya perlu melarang menggunakannya di negeri Johor. Langkah ini perlu diambil segera sebelum ianya menjadi lebih parah dan sukar dikawal.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seiring strategi memperkukuhkan tadbir urus dan mempertingkatkan syiar Islam dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dilihat sentiasa mengambil berat dan menghargai peranan petugas masjid dan surau di negeri Johor. Penghargaan kepada petugas masjid dan surau telah diterjemahkan menerusi kenaikan 100 peratus pemberian elaun bulanan pada tahun 2025 dan inisiatif secara one-off RM500.00 seorang kepada bilal, imam, noja seperti diumumkan dalam Belanjawan Johor 2023, 2024 dan 2025. Selain itu, petugas masjid dan surau turut dicarumkan dengan Pertubuhan Kebajikan Sosial Perkeso. Program Semarak Subuh yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 dan diteruskan pelaksanaannya pada 2025 dengan kekerapan 2 kali seminggu ini juga merupakan satu inisiatif untuk memperkukuhkan syiar Islam kepada rakyat negeri Johor. Strategi memperkukuhkan Tadbir Urus Syiar Islam ini telah digariskan di bawah Teras Pertama, Tadbir Urus Kerajaan pada Belanjawan 2024 dan tadbir urus di bawah inisiatif ketiga puluh satu pada Belanjawan Tahun 2025.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak boleh dinafikan semua program-program ini pastinya dirancang, diatur, disusun, diurus dan dilaksanakan oleh barisan kepimpinan masjid dan surau yang benar-benar komited dan ikhlas. Oleh yang demikian, bagi menghargai peranan mereka, dapatlah pihak kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif secara one-off kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid, Surau ini dari peringkat Pengerusi, Setiausaha dan Bendaharinya. Inisiatif ini bukan sahaja tanda terima kasih dan penghargaan kepada barisan jawatankuasa ini. Mudah-mudahan ianya menjadi pemangkin untuk barisan ini mencurahkan idea dan baktinya kepada pentadbiran masjid dan surau di kariah masing-masing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mempertingkatkan syiar Islam juga, Simpang Jeram mohon pertimbangan Kerajaan Negeri untuk memperuntukkan dalam Belanjawan Tahun 2025 ini bagi membina semula Masjid Al-Mubarak di Kampung Kelantan, Jalan Haji Taib di tapak wakaf yang baru dengan anggaran kos RM10.5 juta. Bagi makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, masjid ini asalnya adalah sebuah bangunan surau yang telah di naik taraf atas faktor masjid berhampiran kira-kira 2 kilometer tidak dapat lagi menampung jemaahnya.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat, masa.

Sekejap Yang Berhormat Datuk Speaker. Ini adalah kerana pembangunan pesat sekitar telah, terdiri daripada Perumahan PDRM, asrama, sekolah, kawasan kampung, perumahan lama dan perumahan baru yang giat dijalankan. Semoga pertimbangan diberikan bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah jemaah di Kampung Kelantan ini, mudah mudahan ia menjadi suatu amalan baik dan mudah-mudahan juga menjadi asbab kita semua mendapat keredhaan Allah. Insya-Allah. Akhir kata, kepada Allah kita berserah. Saya sudahi dengan

wabillahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker. Simpang Jeram mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Terima kasih Simpang Jeram. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan perbahasan saya. Patik serta rakyat Bangsa Johor di dalam DUN Sedili ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun Baginda pada tanggal 22 November 2024 yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat DiRaja sekalian dilanjutkan usia serta berada di dalam keafiatan agar dapat menaungi patik-patik semua dan juga Bangsa Johor keseluruhannya. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepada kepimpinan negeri demi kepentingan kemaslahatan Bangsa Johor. Ampun Tuanku. Yang Berhormat Datuk Speaker, ke Teluk Mahkota bermandi manda, ke Sedili Besar kita singgah makan; Sedili bertuah Sedili Berdunia, Sedili bahas menyokong belanjawan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan 2025 Negeri Johor yang bertemakan Maju Johor, Rakyat Sejahtera dilihat memberi tumpuan kepada pelbagai aspek pembangunan termasuk infrastuktur, pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Dengan 252 inisiatif, dalam 6 Teras yang telah dibentangkan dengan berakhirnya, yang dibentangkan dengan berakhirnya pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor saya rasa lega sedikit Datuk Speaker, kenapa saya rasa lega Datuk Speaker? Saya lega bila pendapatan negeri yang bertuah ini semakin bertambah. Dengan pendapatan bertambah, secara automatik kita mampu untuk tambah belanja mengurus dan tambah belanja pembangunan kita. Alhamdulillah, ini sangat memberi keyakinan kepada rakyat bahawasanya kepimpinan yang sedang menerajui negeri berdaulat ini sedang melaksanakan amanah dan usaha sebaiknya demi kemaslahatan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili mengambil maklum dan gembira akan inisiatif pembangunan infrastruktur yang dapat meningkatkan aksesibiliti kawasan Sedili. Penaiktarafan jalan Johor Bahru - Mersing contohnya akan memberikan kesan positif kepada rakyat terutamanya dalam DUN Sedili kerana jalan perhubungan utama ini juga digunakan setiap hari oleh rakyat kawasan Sedili. Untuk kawasan Generasi Kedua FELDA juga, alhamdulillah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor telah memberi komitmen kepada pembangunan infra tapi saya juga ingin mencadangkan Kerajaan Negeri akan dapat menilai dahulu tahap kesediaan mereka sebelum dapat dilaksanakan. Sebab Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kawasan Sedili ada 6 kawasan FELDA, tapi baru ini diumumkan hanya satu FELDA sahaja. Saya faham, urusan ini akan dilakukan berperingkat, tetapi mulakanlah dengan tempat yang bersedia agar ianya akan menjadi contoh dan mengelakkan kecelaruan pada masa hadapan. Jika ada perjumpaan atau pun perbincangan dibuat tentang perkara ini, libatkanlah juga sekali ADUN kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil peluang ini terhadap satu projek mega yang bakal dibina di Sedili, iaitu Hospital Tenaga Pegajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Untuk rekod Dewan, betul, pembangunan ini akan berlaku di Sedili, tetapi kelulusan ini adalah atas semangat Johor sebab tidak ada hospital seumpama ini di negeri Johor. Kita boleh lihat di Kelantan dan Terengganu, ada, di Lembah Klang pun ada, belah utara memang ada, tapi di sebelah selatan ini masih lagi belum ada hospital seumpama ini. Saya amat berharap semua pihak dapat mengembleng tenaga dan usaha agar kelulusan ini dapat

dilaksana secepat mungkin bukan hanya untuk Sedili tetapi untuk pergerakan eko sistem negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker yang handsome .(Dewan ketawa). Melentur buluh biar dari rebungnya, pesan orang lama-lama. Pendidikan adalah perkara asas yang telah sekian lama kita mulakan dan kita urus demi masa depan Bangsa Johor. Oleh yang demikian, pembinaan atau penambahbaikan sekolah, institusi pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan adalah sangat dituntut, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana memberi peruntukan untuk TABIKA KEMAS dinaik taraf dan penambahan Sekolah Agama Johor. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, di Sedili kita ada 16 buah TADIKA KEMAS, dari FELCRA Sungai Ara hinggalah ke FELDA Simpang Waha, mereka ini sememangnya layak mendapat limpahan pendapatan negeri ini kerana telah sekian lama membina asas untuk Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan pengumuman inisiatif terhadap sektor kesihatan, peruntukan untuk meningkatkan kemudahan kesihatan seperti klinik dan hospital, ini adalah semangat bagi memastikan penduduk mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Di Sedili terdapat tiga buah klinik kesihatan iaitu di FELDA Gugusan Waha, Pekan Tanjung Sedili dan juga di Sedili Besar. Manakala terdapat tujuh buah klinik desa, Sedili Kecil, Mawai Baru, FELDA Tenggaroh Selatan 1, FELDA Aping Timur, FELDA Aping Barat, FELCRA Sungai Ara dan Kampung Gembut. Saya amat berharap inisiatif ini dapat meliputi fasiliti kesihatan di kawasan Sedili ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ekonomi dan peluang pekerjaan. Saya lihat inisiatif untuk menggalakkan pelaburan dan pembangunan industri ini sedang diambil tindakan serius oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan EXCO Kerajaan Negeri. Di Sedili ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan Jambatan Sungai Che Pong yang telah diluluskan projeknya bernilai RM80 juta, Hospital Pengajar yang bernilai RM938 juta, projek Takungan Air yang baharu dibentangkan bajetnya pada bulan 11 yang lalu, sebanyak RM600 juta. Dan macam-macam lagi inisiatif oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Saya amat mengalu-alukan pengisian aktiviti ekonomi terhadapnya iaitu ECERDC dan HRD Corporation diharap terus dapat melihat Sedili sebagai salah satu target perancangan untuk masa depan. Kepada rakyat Sedili juga, kitalah yang akan menjadi pemangkin kepada pengisian tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pelaksanaan program sosial pula pelaksanaan program yang menyokong kesejahteraan masyarakat termasuk bantuan kepada golongan yang memerlukan dan aktiviti komuniti ini. Kita juga telah bertungkus lumus memastikan miskin tegar sifar ini, penghargaan saya rakamkan di dalam Dewan yang mulia ini kepada semua ketua kampung, penghulu dan ketua-ketua masyarakat yang juga tidak jemu-jemu menjejak senarai-senarai yang perlu dituju. Kerja keras mereka juga mendapat perhatian Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor apabila diumumkan inisiatif latihan kepada mereka. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif pemeliharaan alam sekitar ini adalah inisiatif menjaga dan memelihara sumber alam. Di kawasan Sedili ini, kita banyak kawasan pantai dan pantainya agak cantik dan menarik, dan hutannya masih ada yang kekal dengan kehijauan hutan tersebut. Dengan peruntukan terhadap Johor Sustainable Centre (JSC), inisiatif petak pengecasan kenderaan elektrik, memperkaya sumber biodiversiti penghijuan dan penghijauan Johor ini saya amat mengalu-alukan datanglah ke Sedili libatkan kami dan nescaya kami akan menjadi kerjasama yang sangat mesra.

Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bulan ini Pejabat ADUN Sedili telah melancarkan Kembara Jauhar, Wonderful Sedili dan Map Pelancongan Sedili degan bantuan dan kerjasama MOTAC Wilayah Selatan dan juga KEJORA. Untuk mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di dalam DUN Sedili bagi menarik seberapa ramai

pengunjung ke Sedili bagi meningkatkan lagi pendapatan peniaga-peniaga selain menjadikan kegiatan ekonomi di Sedili. Sehubungan dengan itu, mohon Kerajaan Negeri sentiasa dapat membantu Sedili dalam membangunkan industri pelancongan di kawasan Sedili.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini tak ada isu pasal gajah sebab tu cepat sikit. (Dewan ketawa). Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor serta barisan EXCO, ketua-ketua jabatan negeri serta kakitangannya yang diketuai oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor begitu juga dengan ketua-ketua jabatan dan kakitangan persekutuan yang sentiasa komited dengan tugasan yang diberi terutamanya dalam menyelesaikan isu-isu yang ada di dalam DUN Sedili khususnya sepanjang tahun 2024.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan belanjawan yang saya kira terus dan pantas pada penyelesaian masalah rakyat, saya boleh simpulkan ini adalah belanjawan prabiotik bagi Bangsa Johor, oleh yang demikian saya menyeru kepada agensi pelaksana agar semua dari kita harus tekad ke atas pelaksanaannya. Bunga seroja di Sungai Ara, belangkas pula di Pekan Durian; andai kata tersilap bicara, kemaafan jua saya pohonkan. Pantai Kemelah tempat bertemu, girangnya rasa si anak dara; pelita hidup dari ilmu, binalah bangsa bangunkan negara. Gajah mandi dalam perigi, esok kita berjumpa lagi. Sekian Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili mohon menyokong. Wabillahitaufil walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumsalam Sedili, gajah ok? Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat dipersilakan Yang Berhormat Kempas.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, (selawat). Segala puji-pujian bagi Allah SWT, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kerabat para sahabat dan pengikut baginda hingga ke akhir zaman. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam selahtera, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya Kempas berpeluang mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2024 yang bertemakan Maju Johor, Rakyat Sejahtera di dalam Dewan yang mulia pada petang ini. Yang Berhormat Datuk Speaker terlebih dahulu Kempas merafak sembah ucapan setinggi tahniah dan ucapan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan, Sultan Yang di-Pertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Negeri Johor Darul Ta’zim sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda pada 22 November 2024 yang lalu. Patik bersama sekalian warga Kempas berdoa kepada Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Johor serta sekalian kerabat Diraja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat walafiat bagi menaungi patik dan seluruh Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di atas pencapaian yang pertama kali dalam sejarah negeri Johor di mana Johor telah mempunyai hasil RM2 bilion bagi tahun 2024. Peningkatan jumlah import sebanyak 16 peratus kepada RM2,900 bilion berbanding tahun lepas, serta pertumbuhan sektor pembinaan jumlah RM17.1 bilion jelas menunjukkkan bukti kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan negeri hujung selatan ini terus menerus menjadi tumpuan pelabur sehingga digelar sebagai The Next Pro-Engine For Malaysia oleh RHB.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sehubungan itu Kempas menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan anggota perkhidmatan awam negeri Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2025 yang dilihat menyentuh segenap lapisan masyarakat. Dari golongan miskin tegar yang dapat disifarkan jumlahnya, golongan kurang upaya, petani, penjawat awam, guru-guru, pegawai masjid dan surau, jururawat hinggalah kepada pelajar serta mahasiswa, semua lapisan masyarakat ini bakal mendapat manfaat daripada belanjawan ini. Semoga belanjawan ini akan memberi impak positif dan dapat menyentuh setiap jiwa Bangsa Johor. Alhamdulillah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor kerana melalui Belanjawan Johor 2025 ini, Kempas turut menerima rahmat dengan cadangan pembinaan sekolah agama baharu di kawasan Kempas dan juga melalui aspirasi program seperti Jualan Kasih Johor, pelaksanaan dua kali seminggu Program Semarak Subuh dan Bantuan Kasih, Bantuan Dapur Kasih terhadap keluarga B40.

Belanjawan yang seiring dengan Agenda Maju Johor dengan enam Teras membabitkan pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur dan usaha memperkukuhkan keagamaan serta masa depan belia ini dilihat bukanlah perkara biasa, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri dan cara Johor dalam memelihara kesejahteraan rakyatnya. Maka besarlah harapan Kempas untuk melihat segala strategi dan inisiatif daripada setiap teras tersebut dapat direalisasikan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas keprihatinan terhadap golongan kurang upaya (OKU) melalui pengumuman empat inisiatif dalam Belanjawan Johor 2025. Dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.71 juta ringgit. Antara insiatif ini ialah peruntukan sebanyak RM300,000.00 telah disediakan bagi melaksanakan program pemulihan dan kemahiran untuk 200 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). Kempas amat menghargai usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan-golongan OKU sentiasa diberi perhatian, namun izinkan Kempas memberikan beberapa pandangan mewakili keluarga golongan OKU. Salah satu perkara utama adalah mengenai kemudahan penempatan pelajaran di PKPDK terutamanya bagi anak autism, down syndrome dan celebral palsy. Kempas berharap agar kerajaan negeri dapat menambah baik keperluan asas di PKPDK ini bagi memastikan program pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial yang disasarkan dapat dicapai sepenuhnya. Dan hal ini diharap kerajaan dapat memberikan fokus bagi penambahan peralatan pembelajaran di PKPDK seluruh negeri Johor, membekalkan peralatan lebih berkualiti dan moden, dapat membantu pelatih meningkatkan keupayaan fizikal, kemahiran pertuturan dan kemahiran kendiri. Alat bantuan mengajar perlu selaras dengan perkembangan teknologi terkini agar proses penjagaan anak istimewa ini lebih efektif.

Yang Berhormat Datuk Speaker, PKPDK ini menerima sambutan yang amat menggalakkan, terutamanya daripada golongan B40, malah terdapat pusat yang terpaksa beroperasi dalam dua sesi kerana peningkatan permintaannya. Berdasarkan laporan Jurnal Perubatan Malaysia, dianggarkan hampir 800,000 kanak-kanak di Malaysia melalui pelbagai jenis kekurangan upaya, dengan anggaran nisbah satu kanak-kanak OKU bagi setiap 30 hingga 50 kanak-kanak normal, jelas bahawa permintaan untuk perkhidmatan PKPDK ini akan terus meningkat. Justeru itu penambahbaikan dan menaik taraf pusat-pusat ini perlu diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas juga ingin merakamkan penghargaan kepada petugas-petugas PKPDK yang sentiasa berdedikasi dan mendidik dan membimbing anak-anak istimewa ini. Namun cabaran yang mereka hadapi harus berikan perhatian serius. Walaupun nisbah rasmi ditetapkan oleh JKM adalah seorang petugas bagi lima orang pelatih, realitinya ramai petugas terpaksa melatih lebih daripada jumlah ini. Justeru Kempas turut ingin mencadangkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan PKPDK ini di mana pada masa ini mereka hanya menerima elaun sebanyak

RM1,400.00. Diharapkan kerajaan dapat mengkaji semula skim perkhidmatan lebih baik, sekurang-kurangnya setara dengan gaji minimum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Di samping itu, Kempas juga berharap lebih banyak kursus dan latihan harus ditawarkan kepada bekas PKPDK bagi meningkatkan mutu pelajaran mereka yang akhirnya seterusnya dapat memastikan anak istimewa ini mendapat manfaat yang optimum. Dengan penambahbaikan ini, Kempas yakin perkhidmatan PDK akan lebih manpan dan mampu memenuhi keperluan masyarakat tambah baik keluarga yang amat bergantung kepada pusat ini untuk penggunaan anak-anak mereka. Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi Kempas mengucapkan terima kasih atas komitmen Kerajaan Negeri Johor dan Pusat Kebajikan OKU ini. Diharapkan cadangan ini dapat diberikan pertimbangan demi kemajuan kita bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana cakna soal keperluan perkhidmatan awam rakyat di mana di dalam inisiatif kesebelas teras keempat Belanjawan Johor 2025, sebanyak RM28.5 juta akan dibelanjakan bagi pengoperasian bas awam, menerusi program Pengangkutan Awam Johor (PAJ). Sesungguhnya ini adalah inisiatif yang amat baik dan dapat memberikan manfaat kepada rakyat. Walau bagaimanapun perkhidmatan bas yang diberikan percuma kepada warga negara Malaysia ini di sesetengah laluan utama Johor kelihatan masih kurang mendapat sambutan kepada masyarakat. Sering kita melihat kadang-kadang di laluan tertentu yang mana basnya bergerak hanya dengan membawa satu, dua orang penumpang sahaja. Mengapa ini berlaku? Apakah ianya disebabkan laluan perkhidmatannya tidak menepati kehendak pengguna atau disebabkan waktu kekerapan yang tidak sesuai? Kempas mencadangkan agar kajian terperinci berkaitan laluan bas, laluan perkhidmatan bas ini perlu diselesaikan secara menyeluruh. Ada pendapat menyatakan bahawa laluan Bas Muafakat Johor ini hanya bukan lalu jalan utama dan bukan jalan-jalan di kawasan kediaman. Ini menyukarkan pengguna terpaksa berkenderaan dahulu ke jalan utama sebelum dapat menggunakan perkhidmatan bas ini.

Di samping itu laluan bas ini juga dilihat tidak melalui lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengguna dalam menjalankan urusan harian, laluan perkhidmatan bas yang tidak bersambung dengan laluan lain juga adalah faktor yang sering dikaitkan dengan kurangnya sambutan pengguna. Sekiranya perkara ini benar, Kempas ingin mencadangkan agar lebih banyak terminal hab selain Larkin Sentral dan hab Stulang dapat diwujudkan bagi menghubungkan laluan-laluan ini agar dapat memberikan perkhidmatan lebih bermanfaat dan efisien kepada masyarakat. Kemungkinan besar ianya boleh dibangunkan di kawasan berhampiran Stesen KTM Kempas yang baharu, di mana ianya dapat menambah baik jaringan pengangkutan awam daripada Johor Bahru khususnya. Terminal itu boleh menjadi hentian akhir bas dari kawasan luar daerah dan seterusnya ada bas PAJ lain sebagai feeder atau shuttle membawa penumpang ke destinasi penting seperti kompleks kerajaan Nusajaya, kompleks KDN, Stesen KTM di Kempas, UTC, Pejabat JPJ serta kompleks membeli belah selain pejabat kerajaan dan PBT di pusat bandaraya Johor Bahru. Yakinlah sistem pengangkutan awam yang cekap, menyeluruh dan bersepadu mampu memberikan kesan kepada rakyat, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, sekali gus meredakan kesesakan lalu lintas, seiring matlamat Kerajaan Negeri Johor untuk menurunkan pelepasan korban dioksida.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur Alhamdulillah pembangunan pusat institusi pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri yang cekap, tangkas serta berhemah turut melimpah ke DUN Kempas. Terdapat pelbagai kemudahan dan pejabat agensi kerajaan yang berpusat di Kempas. Antaranya Kompleks Penyayang Kempas, Institut Latihan Kesihatan Malaysia, Hospital Permai, Klinik Kesihatan Kempas, Hospital Pakar Mata, Kempas Medical Centre, Pejabat SPRM, Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan terkini Stadium Kempas yang baharu. Walau bagaimanapun, pembangunan jalan raya di kawasan Kempas dilihat tidak seiring dengan pembangunan pesat ini. Seringkali terjadi kesesakan lalu lintas di kawasan kediaman kerana berpunca daripada pelebaran jalan-jalan yang tidak

sekata. Sebagai contoh Jalan Kempas Baru ataupun Kempas *Pe yang bersambung ke Jalan Datin Halimah di mana sebahagian jalan tersebut adalah empat lorong, manakala sebahagian lagi masih lagi dua lorong. Kempas amat berharap agar sistem jaringan jalan raya di kawasan Kempas dan sekitarnya dapat dinaik taraf agar ia seiring dengan pembangunan pesat sebahagian penduduk di kawasan tersebut. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas menyambut baik usaha Kerajaan Negeri baru-baru ini yang telah mewujudkan Jawatankuasa Penyuraian Trafik di peringkat negeri. Kempas mencadangkan agar jawatankuasa ini turun dan dianggotai oleh ADUN kawasan terlibat agar ADUN-ADUN yang berkenaan dapat memberikan maklum balas mereka yang mereka terima daripada masyarakat setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2023 Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Menteri Antony Low telah mengumumkan mengenai tawaran 10 bidang tanah di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bernilai RM2 bilion pemaju untuk membuat pembangunan dan antaranya adalah tanah KTM di Kempas, Johor. Walaupun ini merupakan langkah yang signifikan dalam memacu ekonomi dan meningkatkan pembangunan infrastruktur, Kempas ingin mengetengahkan satu isu utama yang berkait rapat dengan tawaran ini. Isu kebajikan penduduk khususnya di Taman Sinaran Kempas yang masih menetap di atas tanah-tanah tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penduduk di Taman Sinaran Kempas ini asalnya adalah merupakan komuniti dari perkampungan setinggan yang terpaksa dipindahkan di sebabkan pembinaan projek landasan berkembar oleh pihak Perbadanan Keretapi. Mereka ini datangnya dari tiga kawasan Parlimen iaitu Johor Bahru, Tebrau dan Pulai. Mereka sering menghadapi cabaran seperti kekurangan kemudahan asas, akses kepada perkhidmatan dan tidak kepastian masa depan akibat status penempatan mereka dengan perkembangan dirancang pada ketika ini, usaha utama adalah yang pertama, apakah perancangan kerajaan pusat dan negeri untuk menangani nasib penduduk setinggan ini. Bagaimana kerajaan memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan ini? Oleh yang demikian Kempas ingin mencadangkan beberapa langkah proaktif yang boleh diambil untuk memastikan kebajikan penduduk yang terlibat di kawasan berkenaan dan kawasan lain menjadi keutamaan.

1. Disyaratkan pihak pemaju untuk membina penempatan semula. Pemaju yang terlibat perlu diwajibkan membina pelan yang lengkap dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik dan taman permainan. Penampatan ini mesti dibina, disediakan sebelum projek pembangunan bermula agar penduduk tidak terpaksa berpindah tanpa jaminan tempat tinggal.

2. Memastikan perjanjian bertulis dengan pemaju, setiap permohonan melibatkan tanah ini perlu diselesaikan secara rasmi antara pemaju dan pihak berkuasa untuk memberi hak penduduk terlibat termasuk tempoh masa perpindahan dan menyediaan penempatan semula.

3. Ketiga menubuhkan jawatankuasa khas untuk isu ini. Jawatankuasa ini boleh terdiri daripada wakil Kerajaan Negeri, persekutuan, pemaju dan penduduk-penduduk terlibat untuk memantau pelaksanaan penempatan semula bagi menangani isu yang timbul secara kolektif. Mudah-mudahan sekiranya cadangan ini diterima, semua pihak yang berkaitan akan mendapat manfaatnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kempas ingin membangkitkan satu isu yang sering mendapat perhatian masyarakat di kawasan Kempas iaitu masalah banjir kilat yang sering melanda saban tahun di kawasan Taman Sri Puteri, Jalan Kempas Lama. Dan baru-baru ini balai polis turut dilanda banjir dan menghentikan operasi mereka buat seketika. Aduan berkenaan perkara ini telah pun disampaikan kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru, namun jawapan yang diterima daripada MBJB menyatakan bahawa masalah ini berada di

bawah pengawasan Jabatan Kerja Raya (JKR). Malangnya sehingga kini pihak JKR masih belum memberikan respon terhadap isu yang dibangkitkan ini. Dalam Belanjawan 2025 di bawah inisiatif enam teras kelima, sebanyak RM107.4 juta ringgit telah diperuntukkan dengan kerjasama 15 pihak berkuasa tempatan untuk menaik taraf sistem perparitan, longkang, sistem pembentungan dan tumpuan utama untuk mengurangkan risiko banjir kilat. Sehubungan itu Kempas ingin memohon agar perkara diberikan perhatian segera memandangkan kawasan tersebut merupakan satu laluan utama bagi pengguna yang datang daerah Skudai menuju kawasan Kempas dan Impian Emas. Lebih membimbangkan kawasan tersebut juga berdekatan dengan Balai Polis yang mana jalan mereka boleh menjejaskan operasi balai polis dan menyebabkan gangguan dalam menangani panggilan kecemasan. Oleh itu adalah penting bagi pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat ini demi keselamatan penduduk serta kelancaran operasi pihak berkuasa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah banyak usaha-usaha yang dirancang oleh kerajaan negeri telah mula menunjukkan hasil. Insya-Allah negeri Johor akan mencipta kejayaan dalam menjadikan Johor sebagai negeri maju pada tahun 2030. Memang benar kejayaan tidak datang bergolek dan tidak hadir tanpa usaha bersama sebagai satu pasukan. Kempas yakin dengan berkat kerja berpasukan daripada semua pihak termasuk kakitangan awam, wakil rakyat dan seluruh Bangsa Johor, ianya dapat menjadikan Johor sebagai pintu gerbang ekonomi serantau Insya-Allah. Kempas turut ingin menyeru kepada semua Ahli Dewan sama ada yang dari pihak kerajaan mahu pun barisan pengimbang untuk kita terus mendukung kebersamaan semangat dan tekad bagi merealisasikan masa depan Johor yang bakal disegani jiran serantau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hasil negeri subur berkembang, ekonomi kukuh rakyat bahagia; dua bilion kini tercapai gemilang, usaha bersama nyata berjaya. Semoga Allah SWT melimpah rahmatnya dan memudahkan semua urusan kita insya-Allah. Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kempas mohon menyokong. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Kempas. Seterusnya yang terakhir, Yang Berhormat Tiram. Jemput.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor, salam Tiram di hati. erima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada Tiram untuk sama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada hari ini selaku pembahas yang terakhir pada Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2025 hari ini. Buat pertama-tamanya patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada 22 November 2024 yang lalu bersamaan 20 Jamadil Awal 1446 Hijrah. Patik dan seluruh warga DUN Tiram berdoa, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Permaisuri Johor serta Kerabat DiRaja dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT. Semoga di bawah naungan Tuanku, negeri Johor bertambah maju, makmur dan aman sejahtera. Daulat Tuanku. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan seluruh kepimpinan negeri demi kepentingan Bangsa Johor.

Di kesempatan ini juga Tiram mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada rakan Yang Berhormat di sebelah saya, Yang Berhormat Mahkota yang berjaya memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil Mahkota yang diadakan pada 28 September 2024 yang lepas. Semoga semangat membantu dan mendekati rakyat yang ditinggalkan oleh

Almarhumah Dato’ Sharifah Azizah dapat diteruskan dalam memberi perkhidmatan terbaik di Mahkota.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya akan cuba menggunakan masa yang diberikan sebaik mungkin selaku pembahas terakhir tapi kalau terlajak seminit dua mohon dibenarkan. Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah Tiram ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dengan pembentangan Belanjawan 2025 Negeri Johor. Alhamdulillah, Johor berjaya membentangkan belanjawan lebihan lagi pada kali ini. Tiram yakin, dengan tema “Maju Johor Rakyat Sejahtera” yang bertunjangkan 6 teras utama dan 244 Inisiatif yang merupakan dahan dan ranting kepada tunjang tersebut akan berjaya dilaksanakan. Johor sebenarnya berada di landasan yang tepat untuk terus memacu sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Pembentangan Belanjawan 2025 ini bukan hasil buah fikiran satu pihak. Tiram pasti ianya adalah hasil penggembelingan idea dan buah fikiran bersama barisan EXCO, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan penjawat-penjawat awam yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, tahniah buat semua.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar yang telah mengumumkan sejumlah RM11.2 juta untuk disalurkan kepada 56 buah DUN. Terima kasih di atas keprihatinan Yang Amat Berhormat kepada seluruh DUN. Dan terima kasih bagi pihak semua penjawat awam yang akan menerima Insentif Khas Kecemerlangan Tahun 2024 yang pastinya akan memotivasikan lagi mereka untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang pada masa akan datang. Bersamalah membantu kerajaan negeri memacu ekonomi negeri pada masa akan datang. Tidak mustahil jika hasil bertambah pada masa akan datang, kerajaan akan terus menghargai semua dengan insentif-insentif khas ini. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang mula akan mengagihkan 5,000 bakul makanan bermula Disember ini dalam Program Bakul Makanan untuk diserahkan kepada golongan B40 dalam kawasan DUN. Moga usaha berterusan ini akan terus dirahmati Allah SWT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram nak ucap tahniah di atas usaha pihak Kerajaan Negeri yang akan menyediakan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor melalui Teras Pertama Inisiatif Ketiga belas dengan kos yang diperuntukkan sebanyak RM1.5 juta. Tiram mengharapkan kewujudan Pusat Aduan Bersepadu ini menjadi salah satu penambahbaikan kepada sistem penyampaian pihak kerajaan apabila aduan diterima secara masa nyata ataupun real time dengan izin. Satu piagam pelanggan yang standard perlu dikenal pasti dan disediakan agar ianya dipatuhi oleh petugas dan agensi yang menerima aduan untuk memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menggunakan Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Teras Pertama Inisiatif yang Ketiga puluh empat, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.7 juta bagi mengisi kekosongan 300 orang Guru Agama di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Terima kasih Kerajaan Negeri. Namun Tiram juga mohon perhatian daripada pihak kerajaan untuk terus melihat isu kekurangan pembantu tadbir bagi sekolah-sekolah di Sekolah Agama Gred C. Saya dimaklumkan sejumlah 49 buah Sekolah Agama Gred C dalam daerah Johor Bahru yang belum diisi perjawatan Pembantu Tadbir ini. Itu baru di daerah Johor Bahru, di daerah lain mungkin ada sejumlah yang mungkin besar juga, sekolah-sekolah agama yang belum diisi dengan Pembantu Tadbir. Justeru, saya mohon agar perjawatan ini diwujudkan dengan kadar segera agar urus tadbir sekolah-sekolah ini dapat berjalan dengan baik sebagaimana sekolah-sekolah agama gred A dan B.

Selain itu, Tiram juga dimaklumkan sebahagian sekolah-sekolah agama ini tidak mempunyai pengawal keselamatan untuk membantu pihak pentadbir sekolah menjaga hal ehwal keselamatan pelajar dan bangunan sekolah itu sendiri. Sebelum dan buat masa ini badan kebajikan sekolah agama yang menampung kos pembayaran perkhidmatan kepada

pengawal-pengawal keselamatan ini. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak manalah dana badan kebajikan sekolah agama ini? Silap hari bulan mereka hanya boleh bayar untuk beberapa bulan sahaja. Justeru, dipohon EXCO agama melihat isu ini dan semoga kekurangan ini dapat dibantu dan diselesaikan dengan bantuan Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang akan dimeterai perjanjiannya pada hujung tahun ini pasti ditunggu Bangsa Johor. Yang pasti peluang pekerjaan yang terbuka luas untuk Bangsa Johor ini sudah tentu diharap limpahannya kepada Bangsa Johor. Tiram mengharapkan agar impak JS-SEZ ini akan dinikmati oleh golongan muda. Bagi merealisasikannya, pihak kerajaan wajar juga memikirkan apa jua agenda kemahiran yang boleh diberikan kepada anak muda di negeri kita ini. Kita perlu lahirkan generasi yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang mereka seiring dengan pekerja-pekerja yang berada di Singapura sebagai contoh. Tak kiralah anak muda belia kita ini yang duduk di bandar ataupun di luar bandar. Dan sekali lagi Tiram mengharapkan agar peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan daripada ilhamnya JS-SEZ ini tidak akan meminggirkan anak-anak Bangsa Johor khususnya dan juga rakyat Johor secara keseluruhan. Biarlah kepakaran dan kemahiran yang ada pada mereka ini dipulangkan semula kepada negeri Johor. Inilah suara anak muda melalui Dewan Muda Johor yang berkongsi pandangan mereka dengan Tiram, usai pembentangan Belanjawan 2025 pada hari Khamis yang lepas. Yang Berhormat Datuk Speaker, menyebut tentang Dewan Muda Johor ini, Tiram juga bersetuju dan menyokong cadangan Yang Berhormat Kukup untuk memberi peluang kepada Ahli Dewan Muda Johor ini untuk menjalani intern ataupun latihan bersama dengan ADUN-ADUN di Pusat Khidmat ADUN masing-masing khususnya setiap kali menjelangnya Persidangan Dewan Negeri pada masa akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tahun 2025 ini bermulalah cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula ke hari Sabtu dan Ahad. Seingat Tiram kali terakhir kita bercuti hujung minggu Sabtu dan Ahad ini adalah kira-kira 20 tahun yang lalu. Banyak sudut telah dikenal pasti agar pelaksanaan perubahan cuti hujung minggu ini berjalan dengan lancar antaranya yang menjadi perhatian adalah tentang solat Jumaat. Tiram ingin menarik perhatian tentang pelaksanaan yang melibatkan operasi persekolahan khususnya untuk pelajar-pelajar sekolah rendah. Antara cadangan yang ingin Tiram kongsikan adalah pertama, jadikanlah tempoh 12.30 tengah hari sehingga jam 2.00 petang sebagai tempoh bertenang dengan tiada sebarang pergerakan di sekolah. Biarlah anak-anak yang mengikuti sesi persekolahan pada sebelah petang hadir pada jam 2.00 petang. Ini bagi memastikan agar tadbir urus pelajar di sekolah lebih terurus kerana sebahagian guru lelaki keluar solat Jumaat dan jika kita mengharapkan guru-guru wanita sahaja untuk mengawal anak-anak di sekolah rendah ini, kita khuatir ianya tidak dapat dilakukan sebaik mungkin.

Yang kedua, dicadangkan juga agar pelajar-pelajar sekolah rendah ini diberi kemudahan untuk memakai baju melayu khususnya pelajar lelaki supaya dengan pakaian tersebut mereka mudah untuk terus ke sekolah kebangsaan selepas solat Jumaat dan juga mungkin ada pelajar sesi pagi sekolah agama yang habis lewat boleh terus ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Dan yang ketiga, dalam pelaksanaan cuti hujung minggu ini dan pelaksanaan persekolahan pada hari Jumaat, saya mohon juga kerjasama semua pihak seperti ibu bapa dan pengusaha van sekolah khususnya amatlah kita harapkan agar perjalanan sesi persekolahan pada hari Jumaat ini berjalan dengan lancar. Sama-sama kita nantikan sesi persekolahan hari Jumaat yang pertama pada 3 Januari 2025 nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertambahan perumahan yang disediakan oleh pihak kerajaan juga telah menyebabkan pergerakan pindah masuk penduduk di sesuatu kawasan. Pendek kata, jumlah penduduk bagi satu-satu kawasan semakin bertambah. Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram berpandangan sudah tiba masanya beberapa tempat di kawasan Tiram ini perlu diwujudkan ketua-ketua kampung yang baharu untuk dikecilkan lagi kawasan tadbir urus kawasan mereka. Saya ambil contoh, Ketua Kampung Kopok Baru perlu menjaga kira-kira 6 buah kampung dan taman-taman perumahan yang dianggarkan

jumlah isi rumah mereka adalah sekitar 150,000 yang mana Ketua Kampung Kopok Baru ini juga menjaga kawasan beberapa kawasan perumahan di dalam kawasan DUN Permas. Manakala, ketua Kampung Pasir Putih juga mengawal selia kawasan kampung dan taman perumahan dari kampung Pasir Putih sehinggalah Kampung Bukit Pulai yang mana di antaranya terdapat beberapa taman perumahan yang dianggarkan isi rumahnya melebihi 10,000 orang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga menyokong dan bercerita tentang ketua kampung ini, Tiram juga menyokong cadangan Yang Berhormat Senggarang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua kampung pada masa akan datang yang mana pada hari ini kita semua sedia maklum tempoh perkhidmatan mereka adalah sekitar 2 tahun. Saya mencadangkan menyokong saranan daripada Yang Berhormat Senggarang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua-ketua kampung ini kepada 5 tahun. Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga mencadangkan agar diwujudkan sebuah lagi daerah ataupun daerah kecil di dalam daerah Johor Bahru ini. Untuk makluman besarnya daerah Johor Bahru ini kalau dilihat secara geografinya, bermula di Kampung Kong Kong Laut dalam kawasan DUN Tiram, sehinggalah ke Tanjung Kupang di dalam DUN Kota Iskandar. Tiram melihat sudah masanya sebuah daerah iaitu daerah Pasir Gudang diwujudkan agar penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan lebih baik yang berpusat di Pasir Gudang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Tiram ingin membawa isu yang berkaitan dengan Bantuan Wang Ehsan Banjir. Isu ini masih lagi menjadi isu kepada penduduk-penduduk yang terjejas dalam Parlimen Tebrau. Tiram dimaklumkan sehingga ke hari ini bantuan wang ehsan masih tidak dapat disalurkan kepada mangsa yang terlibat. Untuk rekod, banjir yang tersebut berlaku ini adalah yang berlaku pada Januari 2024. Senarionya begini. Kejadian banjir telah berlaku di Kampung Maju Jaya. PPS telah pun dibuka untuk mangsa banjir, namun ianya tidak dapat menampung sejumlah mangsa banjir yang begitu ramai. Rentetan daripada itu, sebahagian daripada mereka tidak mendaftar di PPS tetapi mereka membuat laporan polis dan dalam makluman ketua-ketua kampung. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk tinggal sementara di rumah anak-anak ataupun saudara mara yang berdekatan sementara menanti banjir surut. Namun, ekoran daripada senarai yang ramai ini yang tidak berpindah di PPS, saya dimaklumkan bantuan banjir tersebut tidak dapat disalurkan termasuklah pada mereka yang berpindah di PPS. Tiram berpendapat bantuan tersebut perlu disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir ini. Kita faham pihak NADMA berhak menentukan kepada siapa dan juga prosedur untuk disalurkan bantuan tapi atas dasar kemanusiaan, rumah mereka ini juga turut dilanda banjir maka wajar untuk mereka dibantu mendapat bantuan wang ehsan tersebut. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker bukan sahaja di Kampung Maju Jaya, tetapi di beberapa kawasan dalam daerah Johor Bahru seperti di Kampung Sungai Tiram dan juga Kampung Cahaya Baru juga menerima tempias bila mana bantuan tersebut juga masih belum disalurkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bercerita tentang banjir ini kita sudah mula masuk ke Monsun Timur Laut. Namun, kerosakan yang berlaku semasa kejadian Januari 2024 di dalam Tiram masih belum dapat dilaksanakan pembaikannya. Kerosakan tebing yang menyebabkan dapur rumah penduduk dihanyutkan, jambatan rosak, tebing runtuh, masih belum dibaiki. Sejumlah RM5.65 juta telah dipohon untuk pembaikan ini namun ianya masih belum dilaksanakan sehingga hari ini. Saya perlu berterima kasih kepada JPS Daerah Johor Bahru yang berusaha membantu Tiram menyelesaikan masalah-masalah akibat monsun timur laut yang melanda kawasan Tiram. Ini termasuklah beberapa kawasan yang menjadi hotspot banjir telah pun dilaksanakan kerja-kerja penggalian sungai menjelang monsun timur laut pada tahun 2024 yakni pada hujung ini. Saban hari Jabatan Meteorologi Malaysia berkongsi amaran hujan berterusan, berwaspada. Tiram sentiasa berdoa agar lokasi lokasi yang belum dibaiki ini tidak menjadi lebih teruk sepanjang monsun timur laut kali ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bercerita pula tentang banjir ni, isu yang masih panas lagi di kawasan DUN Tiram berlaku lagi kira-kira 24 jam yang lepas. Banjir kilat berlaku sekali lagi selepas jejambat ataupun flyover dengan izin, Pekan Ulu Tiram ekoran hujan yang berterusan semalam. Untuk rekod, lokasi ini jugalah merupakan lokasi pertama yang saya turun selepas dipilih menjadi Wakil Rakyat pada Mac 2022. Pertambahan kawasan-kawasan perumahan di sekitar kawasan tersebut memerlukan sistem perparitan yang lebih efektif yang seterusnya mampu mengalirkan air ke Sungai Tiram. Saya mohon kepada pihak pemaju untuk menyegerakan penggantikan longkang yang lebih besar yang mampu menampung jumlah air yang banyak agar tiada lagi limpahan berlaku ke atas jalan yang pastinya mengganggu jiwa dan emosi pengguna jalan raya khususnya yang menghala ke Kota Tinggi. Rasanya semalam ada juga Ahli Yang Berhormat melalui jalan tersebut, semalam. Mohon kepada pemaju terlibat mengambil tindakan pantas kerana macam yang Tiram maklumkan tadi, kita sedang dalam berada musim monsun timur laut.

Dikesempatan ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat EXCO Perumahan yang dapat menyelesaikan isu kelewatan PPR Sungai Tiram yang kini berjaya menempatkan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan di Mukim Sungai Tiram, namun begitu Tiram mengharapkan proses bancian setinggan di dalam Mukim Plentong dapat disegerakan agar mereka yang tinggal di kawasan setinggan sepanjang kawasan rizab sungai dapat segera ditempatkan di PPR Sungai Tiram. Pusat Khidmat ADUN Tiram sentiasa menerima pertanyaan tentang bila mereka boleh ditempatkan di PPR Sungai Tiram, rumah telah ditanda oleh Pejabat Tanah. Jadi, saya mohon Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru untuk bantu percepatkan proses bancian ini untuk tindakan lanjut Pejabat Daerah Johor Bahru dan PKPJ.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Tiram ingin mengemukakan dua perkara J, iaitu jejambat dan jambatan. J yang pertama adalah jambatan Kampung Perigi Acheh, Tiram mahukan status hala tuju projek pembinaan jambatan yang masih tidak siap-siap sehingga hari ini. Jambatan yang tidak siap ini ternyata memberi beban kepada penduduk Kampung Perigi Acheh, tiada apa yang mampu dibuat di kawasan projek yang menjadi laluan keluar masuk penduduk. Jadi Tiram mohon 2025 ini, akan satu jawapan konkrit kepada isu jambatan ini yang membawa kepada titik nokhtah penyelesaian.

J yang kedua adalah jejambat di Plaza Tol Cahaya Baharu, dah berkali-kali Tiram bawa isu ini sama ada dalam Dewan yang mulia ini, mahupun dalam Mesyuarat Tindakan DUN mahupun Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah. Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah berjumpa dengan semua pemegang taruh yang terlibat dengan pembinaan jejambat nampaknya kita hanya mampu jejambat itu hanya mampu dipandang tanpa dapat digunakan oleh pengguna. Pembukaan jejambat ini akan dapat menyumbang kepada penyuraian trafik di kawasan sekitar menuju ke kawasan perindustrian Tanjung Langsat. Sekali lagi, mohon ada sinar di hujung terowong bagi kemudahan penduduk pada tahun 2025.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga menerima aduan daripada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di klinik kesihatan kerajaan yang berkongsi tentang bekalan ubat yang sangat-sangat terhad, sebahagiannya perlu berulang alik hampir setiap minggu kerana bekalan ubat tertentu hanya dapat dibekalkan dalam tempoh seminggu berbanding sebelum ini sekurang-kurangnya dapat dibekalkan untuk tempoh sebulan. Benar, ianya di bawah bidang Kementerian Kesihatan di bawah Kerajaan Persekutuan, namun besar harapan rakyat unutk melihat Kerajaan Negeri membantu, menyalurkan maklumat keresahan rakyat yang mungkin cukup terkesan apabila perlu berulang alik ke klinik kesihatan mahupun hospital kerajaan bagi mendapatkan bekalan.

Timbalan Speaker

Masa, Yang Berhormat.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga menyokong penuh Yang Berhormat Kukup yang meminta agar fasiliti di dalam Dewan yang mulia ini, ditambah baik. Tiram nak caj laptop pun tak ada sumber elektrik di kawasan belakang ini. Mohon dipertimbangkan. (Dewan bertepuk). Sebelum mengakhiri, sekali lagi saya nak ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Semarang, Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Yang Berhormat Kukup yang telah mengilhamkan untuk diadakan satu sesi saringan kesihatan. Alhamdulillah, keputusan saringan ini kita dah dapat rata-rata dapat A plus daripada keputusan pemeriksaan kesihatan kalau tergelincir pun mungkin A minus. Alhamdulillah, semoga kita dapat buat saringan kesihatan ini secara berkala pada masa akan datang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, moga Allah juga melindungi kita semua dalam memberi dan memberi kemudahan dalam menghadapi dan menguruskan monsun timur laut yang telah sampai sehingga berakhir sekitar Mac atau April 2025 nanti. Dikesempatan ini juga, Tiram ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang dapat membatu Tiram dalam menyelesaikan apa jua masalah yang berbangkit sepanjang tahun 2024, semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada tahun 2025.

Dan akhir sekali, yang ini betul-betul akhir, sekali lagi patik dan seluruh Bangsa Johor dalam DUN Tiram merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhun Sultan Iskandar dan keluarga Diraja yang tidak pernah lekang dari terus membantu Bangsa Johor yang memerlukan bantuan melalui yayasan-yayasan keluarga Diraja. Allah Peliharakan Sultan. Daulat Tuanku. Sekian, Tiram mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumusalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, Ahli-Ahli Yang Berhormat, berkat disiplin, komitmen, timbang rasa dan patuh arahan kesemua 42 orang Ahli Dewan telah berjaya mengambil bahagian dalam Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2025) Tahun 2024.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi dan syabas atas usaha gigih dan komitmen setiap Ahli Dewan yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengutarakan input-input dan isu-isu serta cadangan demi kebaikan rakyat keseluruhannya. Mudah-mudahan prestasi ini dapat diterus dan ditingkatkan, tahniah Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Insya-Allah esok, pihak kerajaan khususnya barisan Yang Berhormat EXCO akan mengambil bahagian dalan perbahasan dan diharap memberi maklumbalas perkara-perkara yang diutarakan oleh Ahli-Ahli Dewan dalam Perbahasan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, Khamis 28 November 2024, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 4.50 petang.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Timbalan Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Koordinator

Puan Hajah Rohana binti Matang

Pembantu Penerbitan

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Hajah Zalinah binti Ali Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Nohafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar

Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 27 November 2024

Timbalan Speaker

VERBATIM