Johor · 28 November 2024

15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · not final · 132 turns · 36,921 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah, semua Ahli-Ahli Yang Berhormat telah pun selesai membahaskan Bajet Johor 2025 semalam. Setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membahaskan bajet tersebut. Banyak perkara-perkara baru yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan saya yakin hari ini perkara-perkara yang dibangkitkan itu akan dijawab. Saya memuji kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana membuat persiapan yang rapi di dalam perbahasan tanpa menimbulkan sebarang kekecohan dan sebagainya.

Alhamdulillah, ada perkara-perkara baru yang dibangkitkan seperti yang saya sebutkan tadi, contohnya Benut membangkitkan isu selain daripada kita bekerja keras untuk menarik pelabur datang ke negara kita, ke negeri kita, kita juga perlu memberi perhatian kepada GLC-GLC negeri supaya mereka dipertingkatkan lagi keupayaannya untuk membantu negeri di dalam mendatangkan hasil baik dari segi pelaburan dan juga penyediaan pekerjaan. Oleh itu, saya berharap di masa-masa akan datang, Ahli-Ahli Yang Berhormat akan membangkitkan lagi perkara-perkara baru yang boleh memberikan kefahaman kepada rakyat Johor seluruhnya. Saya mengambil contoh tentang Johor Petroleum, walaupun ia adalah merupakan diperbadankan di bawah Kerajaan Persekutuan tetapi barangkali kita harus tahu apa sebenarnya kejayaan, sumbangan Johor Petroleum kepada negeri kita. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tenang.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, tenang-tenang air di laut, sampan kolek hanyut ke tanjung; hati terkenang mulut menyebut, budi baik rasa nak junjung. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 1.

Apakah langkah yang telah, sedang dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha membawa lebih ramai pelancong khususnya pelancong dari negara jiran untuk berkunjung ke DUN Tenang bagi merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sedili, mulakan dengan pantun juga eh.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2. Pantun tak sempat nak buat. (Ketawa).

Dalam mempromosikan Sedili di persada pelancongan, adakah Kerajaan Negeri mempunyai perangkaan membawa Sedili dalam rancangan Tahun Melawat Johor pada tahun 2026 dan bagaimanakah ia dapat direalisasikan dalam kawasan DUN Sedili?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Johor Lama.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNJohor Lama

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker, pantun pun tak ada, tertinggal kat Johor Lama. Soalan saya nombor 3.

Minta dinyatakan usaha terkini yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam meningkat kemajuan sektor pelancongan di kawasan Daerah Kota Tinggi khususnya di DUN Johor Lama menjelang Tahun Melawat Negeri Johor 2026.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 4.

Adakah Kerajaan Negeri Johor meletakkan Bekok salah satu kawasan pelancongan untuk dinaiktaraf bagi menarik minat pelancong berlibur di Bekok?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Datuk Speaker, soalan Pulai Sebatang nombor 5.

Apakah perancangan negeri Johor bagi menghadapi Tahun Melawat Johor 2026 dan berapakah jumlah sasaran pengunjung yang disasarkan bagi Tahun Melawat Johor 2026?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.

Kesan tempat-tempat bersejarah di Daerah Kota Tinggi masih belum dipugar sepenuhnya, lama-kelamaan boleh hilang lenyap atau terbiar begitu sahaja. Apa perancangan kerajaan untuk menjadikan kawasan-kawasan berkenaan sebagai lokasi serta tema baharu untuk mengamit pelancong domestik dan pelancong luar.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Selamat sejahtera, selamat pagi, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor 7.

Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan dan meningkatkan pelancongan di daerah Tangkak?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Simpang Jeram nombor 8.

Apakah peranan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosi, mengangkat dan memartabatkan Bandar Maharani sebagai sebuah Bandar Diraja di dalam negeri Johor dalam kalendar pelancongan negeri.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Maharani.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 9.

Muar sebagai salah satu destinasi pelancongan tempatan dan luar terutama di kawasan Tanjung Emas dan Tanjung Ketapang sebagai pusat rekreasi. Adakah terdapat perancangan daripada Kerajaan Negeri untuk menambah infrastruktur seperti tandas awam dan surau di tempat tersebut?

Speaker

Dijemput Yang Amat Berhormat.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor, Salam Malaysia Madani. Terima kasih saya ucapkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada DUN Tenang, Sedili, Johor Lama, Bekok, Pulai Sebatang, Pasir Raja, Tangkak, Simpang Jeram, Maharani atas soalan-soalan tentang sektor pelancongan. Jadi, Yang Berhormat Speaker, berdasarkan senarai ADUN-ADUN yang bertanyakan soalan, sudah semestinya sektor pelancongan adalah topik yang cukup penting untuk mereka, untuk negeri dan juga di kawasan masing-masing. Dan izinkan saya, Yang Berhormat Speaker, menjawab soalan-soalan ini bersekali.

Yang Berhormat Speaker, dari segi pengumuman saya untuk Belanjawan Johor pada tahun ini, kita telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk dilaksanakan. Malah, gerak kerjanya sebenarnya telah berlaku tahun lepas lagi, di mana kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa Tahun Melawat Johor akan dilaksanakan pada tahun 2026. Dan, kita telah merangka dua strategi utama untuk menjayakan Tahun Melawat Johor di mana kita akan mensasarkan sekurang-kurangnya 12 juta pelancong yang hadir ke negeri Johor ini. Dua strategi utama yang saya maksudkan, pertamanya ialah untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada di Johor. Dan, bila kita dah laksanakan penaiktarafan tersebut, kita akan mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di seluruh negeri Johor. Bayangkan Yang Berhormat Speaker, kalau kita buat terus promosi tahun ni, tanpa menaik taraf dulu produk-produk pelancongan kita, saya rasa dia akan menggambarkan satu perkara yang tidak, yang tidak kita mahukan sebagai contoh, bila kita nak promosikan zoo, kalau kita promosikan zoo dalam keadaan produk pelancongan kita tak dinaik taraf, saya rasa Datuk Speaker pun segan nak bawa cucu ke Zoo Johor. Sebab itu, kita intentionally, tak bagi apa-apa peruntukan untuk promosi, untuk tahun ini. Kita, allocate kita punya bajet, untuk promosi tahun depan dan insya-Allah pada tahun 2026.

Jadi, untuk strategi juga, saya juga nak maklumkan bahawa pengumuman saya pada tahun lepas nak mengkorporatkan Tourism Johor. Alhamdulillah perkara itu telah mendapat kelulusan daripada MMK dan pada tahun depan awal, kita akan beroperasi secara sepenuhnya melalui Majestic Tourism Johor Sdn. Bhd. Di mana melalui organisasi tersebut kita akan melantik mereka yang berada dalam golongan profesional, yang berada dalam sektor pelancongan untuk membantu menggiatkan sektor pelancongan di negeri Johor. Tambahan, pada tahun ini, saya telah mengumumkan juga, supaya kadar duti hiburan akan diturunkan ke 5 peratus, 5 peratus kekal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025, berbanding dengan 25 peratus kadar duti hiburan sebelum ini. Untuk makluman Dewan, kadar ini adalah kadar yang paling rendah dalam negara. Niat kita menurunkan kadar tersebut Yang Berhormat Speaker, adalah untuk menarik lebih banyak taman-taman tema untuk datang ke Johor, insya-Allah.

Jadi, Yang Berhormat Speaker, kita kembali kepada dua strategi utama, pertamanya, dari segi menaik taraf, tahun ini kita telah memperuntukkan RM67.6 juta yang melibatkan 15 projek penambahbaikan infrastruktur. Untuk tahun depan pula, kita memperuntukkan RM47.75 juta untuk projek-projek penambahbaikan infrastruktur di seluruh negeri Johor.

Untuk mempromosikan produk-produk ini pula, untuk tahun depan, kita memperuntukkan RM7.2 juta yang melibatkan 5 inisiatif utama. Pertamanya, kita akan mengadakan roadshow Tahun Melawat Johor ke seluruh negara. Kita akan menjelajah setiap negeri untuk mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri Johor dan kita juga akan singgah ke Singapore, untuk membuat perkara yang sama.

Keduanya, kita juga akan mengadakan Jelajah Majestic Johor Festival, di mana kita akan menjelajah setiap daerah di negeri Johor. Ini, kita nak pastikan bahawa rakyat Johor, Bangsa Johor mengetahui produk-produk pelancongan yang ingin kita promosikan.

Ketiganya, kita juga akan membuat promosi melalui televisyen, radio, surat khabar dan majalah pengembaraan serta papan-papan iklan di pintu-pintu masuk negara dan juga di pusat-pusat membeli belah. Tidak cukup dengan itu, kita juga akan adakan penyertaan dalam pameran-pameran pelancongan dengan kerjasama MATTA, Travel Fair, MITM, INTEC dan insya-Allah bergiat juga dengan MAHA, kerana dekat sana ramai orang yang hadir setiap tahun. Kita juga akan mengadakan fun trip yang akan diatur khusus kepada agensi-agensi pengembaraan, pihak media, blogger dan influencer untuk melawat tempat-tempat yang kita nak promosikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak cukup dengan itu, kita sedar bahawa pada tahun 2026, bukan sahaja Tahun Melawat Johor, ia akan selari dengan Tahun Melawat Malaysia. Jadi, kerjasama kita dengan MOTAC adalah amat penting dan kita akan memperhalusi promosi di luar negara bersama MOTAC dan insya-Allah, pada tahun hadapan, bulan Januari pihak Kerajaan Negeri akan ada sesi libat urus dengan penggiat-penggiat pelancong dan kepada ADUN-ADUN yang berminat untuk bersama dalam sesi libat urus itu, kita alu-alukan, kerana kita nak merencana aktiviti dan program untuk tahun 2026 bersama dengan MOTAC, insya-Allah. Jadi, semua yang berminat dialu-alukan.

Yang Berhormat Speaker, berdasarkan soalan-soalan yang telah diajukan kepada saya, ramai juga yang nak tahu, apa agaknya aktiviti ataupun infrastruktur pelancongan yang dibuat di kawasan masing-masing. Dan, saya ingin mulakan untuk kawasan DUN Sedili. DUN Sedili ni, Yang Berhormat Speaker, kita telah memperuntukkan RM1 juta bagi menaik taraf Pantai Teluk Mahkota, di Sedili. Dan, kita juga telah memperuntukkan RM1.4 juta dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf infrastruktur Dry Esplanade, Pekan Tanjung Sedili. Tapi menarik tentang DUN Sedili ini Yang Berhormat ini, Yang Berhormat Speaker ni satu-satunya ADUN lah yang saya nak puji kerana bukan saja dia pandai minta tetapi dia pandai kerjasama dengan pelbagai pihak antara perkara yang dijuarai oleh ADUN Sedili ialah dia sendiri buat pelancaran Fun Map Sedili. So dekat Sedili dia ada dia punya fun map, lepas tu tak cukup dengan itu, kita juga telah membuat pembinaan 3 billboard, promosi, betul eh ADUN Sedili?

Di kawasan Sedili dan kita juga telah memperuntukkan RM246,000.00 bagi kerja menurap jalan dan tempat letak kereta di jalan Pekan Sedili. Jadi ini antara usaha-usaha yang ADUN Sedili bantu Kerajaan Negeri. Dia pandai dia kecek Ahli Parlimen, KPKT dan sebagainya.

Speaker

Dia bank besar Yang Amat Berhormat, dia punya bank besar, bank besar.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bank besar, dia memang pandai Yang Berhormat Datuk Speaker.

Kemudiannya saya nak laporkan untuk kawasan DUN Johor Lama dan juga DUN Pasir Raja RM2 juta telah diperuntukkan bagi Projek Pembangunan River Cruise Sungai Johor, dari Jeti Pengkalan Kota di Johor Lama ke Pengkalan Laksamana di kawasan DUN Pasir Raja dan feri Cruise. River Cruise ini dijangka beroperasi pada bulan Mei tahun depan. Untuk kawasan DUN Tenang, RM300,000.00 telah diperuntukkan untuk Air Terjun Taka Melor. RM400,000.00 untuk pusat rekreasi Air Panas Labis, RM100,000.00 untuk pusat kraf dan IKS Labis, RM4 juta ini bukan Kerajaan Negeri punya, ini adalah syarikat swasta dengan kerjasama kita untuk promosi. Dia telah memperuntukan RM4 juta di kawasan Labis Sunrise Farm, mana Tenang.

Untuk kawasan DUN Bekok, RM700,000.00 telah diperuntukkan bagi air terjun dan fasiliti Santuari Ikan Kelah di kawasan Taman Eko Rimba Sungai Bantang. Untuk kawasan DUN Tangkak, semua sedia maklum kita banyak memberi peruntukan untuk taman-taman

negara, termasuk di kawasan Taman Negara Gunung Ledang sebanyak RM7.4 juta telah diperuntukkan dan saya percaya banyak perubahan yang telah kita lihat kawasan tersebut dan kita juga memperuntukkan RM150,000.00 untuk Festival Amazing Tangkak.

Yang Berhormat Speaker, menjawab soalan Yang Berhormat Simpang Jeram dan juga Maharani tentang nak memartabatkan produk pelancongan di kawasan daerah Muar, sukacita juga saya maklumkan bahawa sebanyak RM300,000.00 diperuntukkan bagi Pantai Seri Menanti dan juga RM200,000.00 untuk Pantai Leka, Parit Jawa. Jadi Yang Berhormat Speaker, saya sedar dan insaf bahawa mungkin peruntukan-peruntukan yang saya umumkan ini memang tidak mencukupi dan kalau boleh saya nak bagi lebih cuma saya ada kekangan-kekangan tertentu untuk meluluskan segala-segalanya tetapi insya-Allah kita akan terus berusaha untuk menaik taraf lagi produk-produk pelancongan dan kita juga sedar dan insaf bahawa perubahan-perubahan yang kita buat ini walaupun kita bersemangat nak percepatkan dia tetap akan mengambil masa. Jadi kerana apa nama pucuk tidak akan mencancang sebelum menjadi dewasa, jadi saya harap jawapan saya itu menjawab soalan-soalan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sekian, terima kasih.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat kerana telah mengkorporatkan sektor pelancongan di bawah apa tadi Majestic Tourism Johor Sdn. Bhd., mudah-mudahan berjaya. Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum saya buka kepada soalan tambahan, Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran 32 orang pemerhati yang dibawa oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang terdiri daripada ketua-ketua kampung, DUN kawasan Semerah pengerusi masjid dan surau dan juga AJK Wanita dan Puteri di bawah kawasan DUN Semarang, sila bangun, ya tahniah. Juga 8 orang pemerhati daripada Institut Dato Onn’, daripada Ahli Dewan Muda Johor, tahniah. Ya ada soalan tambahan, Tenang.

Terima kasih Yang Amat Berhormat atas jawapan yang diberikan, nampaknya alhamdulillah kita dah boleh lebar sikit. Ok, soalan tambahan saya Johor mempunyai identitinya yang tersendiri. Bagaimanakah Kerajaan Negeri mempromosikan produk-produk pelancongan yang mengambarkan identiti tersebut seperti tarian zapin, kain tenun dan gambus? Terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Tenang, yang bertanyakan tentang mempromosikan produk-produk pelancongan seperti tarian zapin, kain tenun dan juga gambus. Saya nak berkongsi bahawa kita sebenarnya sedang dan sudah sebenarnya melaksanakan promosi di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, dan pada tahun ini kita telah umumkan untuk tahun depan supaya Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar ini akan dibuka setiap hujung minggu. Jadi bila kita buka kompleks setiap hujung minggu sudah semestinya produk-produk warisan kebudayaan seperti zapin, gambus dan juga seni tenunan dan ini akan dipromosikan kepada mereka yang hadir di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar dan kita sedia maklum kita di peringkat Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM800,000.00 bagi tujuan tersebut.

Dan saya juga baru-baru ini telah mengumumkan Festival Zapin Rakyat Johor. Kalau sebelum ni Yang Berhormat Speaker kita hanya memperuntukkan RM500,000.00 tahun ini, untuk tahun depan dua kali ganda, maksudnya kita bagi RM1 juta untuk mempromosikan zapin melalui Festival Zapin Rakyat Johor. Dan saya lihat bahawa melalui festival ini kumpulan sasar daripada pelbagai peringkat umur bermula daripada bangku sekolah pra sekolah, juga akan diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti seni zapin. Cuma saya tertarik dengan cadangan Yang Berhormat Pemanis dua hari lepas yang telah mencadangkan supaya aktiviti-aktiviti kebudayaan seperti ini dapat kita libatkan sampai ke peringkat daerah.

Sebenarnya perkara ini sudah berlaku tahun ini dan in fact kita punya program zapin dan juga kebudayan itu telah dilaksanakan sehingga bulan Oktober cuma Yang Berhormat Pemanis ni dia baru naik pangkat minggu lepas telah dilantik sebagai Timbalan Yang

DiPertua Majlis Kebudayaan Negeri. Jadi tahniah kita ucapkan kepada beliau, cuma mungkin masa tu dia tak dapat WhatsApp lagi, tentang kaedah pelaksanaan program kita yang sebenarnya memang melibatkan daerah-daerah. Jadi insya-Allah kita akan pergiatkan lagi usaha ini. Yang Berhormat Speaker bagi memertabatkan lagi inisiatif untuk produk-produk pelancongan yang diletakkan zapin, kain tenun dan gambus. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Kena banyakkan juga Yang Amat Berhormat, tempat-tempat, makanan Johor yang sudah atau pun restoran viral ni ya, Jemput Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat. Soalan tambahan Bekok. Boleh Yang Amat Berhormat kongsikan berapakah jumlah pengunjung terkini dan bagaimana kejayaan Zoo Johor dicapai dan terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Bekok atas soalan tentang Zoo Johor, tentang pencapaian. Setakat ini saya dilaporkan bahawa hampir 500,000 orang telah mengunjungi Zoo Johor semenjak ia dibuka pada 31 Ogos tahun ini. Jadi memang menjadi sambutan yang baik, sambutan yang hangat, bukan saja untuk pelancong-pelancong lebih terutama untuk Bangsa Johor yang mahu membawa ahli keluarga ke sana dan saya sangat-sangat berbesar hati dan juga bangga tentang pencapaian ini bukan hanya kerana jumlah pengunjung tetapi zoo ini dapat dibuka dengan kerjasama pelbagai pihak. Kita kerja sebagai satu pasukan Yang Berhormat Speaker, di mana YB Dato’ Jafni, SUKT, PBT-PBT termasuk MBJB, MBIP dan juga Pasir Gudang yang turut menyumbang dana sebanyak jumlah keseluruhan RM9 juta, untuk membuka zoo ini.

Jadi insya-Allah pada tahun depan, kita anggarkan sekurang-kurangnya 1 juta pengunjung akan hadir di zoo ini dan hasil yang kita sasarkan ialah sebanyak RM6 juta. Jadi dari segi pengoperasian Zoo Johor pada tahun depan dah tak payah minta duit dengan saya, dah tak payah minta duit dengan SS, insya-Allah dia boleh break even sekurang-kurangnya dari segi pengoperasian. Jadi sekali lagilah saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang bekerjasama untuk menjayakan agenda zoo ini. Dan insya-Allah kalau semuanya berjalan baik dan lancar untuk fasa kedua yang kita naik taraf saya bincangkan dengan Dato’ Jafni, kita dapat banyak maklum balas nak buat night safari Yang Berhormat Speaker.

Jadi rakyat boleh pergi pada waktu malam, tapi perkara ini insya-Allah sedang diperhalusi kerana kita kena tengok juga dari segi sektor keselamatan bukan sahaja manusia yang pergi tetapi dari segi keselamatan binatang-binatang yang kat situ kerana takut mereka yang takut dengan manusia pada waktu malam. Jadi pencahayaan, apa laluan untuk OKU, mereka yang uzur atau pun mereka yang senior, faktor-faktor itu perlu kita perhalusi sebelum kita boleh jayakan night safari tersebut. Jadi insya-Allah menjawab soalan ADUN Bekok saya lihat bahawa response untuk Zoo Johor adalah amat membanggakan dan kini adalah hasil usaha semua pihak. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Jemput Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bangun pagi gosok gigi, Sedili bangun sekali lagi.

Speaker

Baru sempat nak buat pantun.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Soalan tambahan saya apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi kawasan Air Terjun Kota Tinggi?

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

ADUN Sedili tanya soalan terus ayat Al-Quran keluar. Terima kasih ADUN Sedili ini. Yang Berhormat Speaker, apa yang diajukan oleh ADUN Sedili ini sebenarnya adalah soalan ramai orang di kawasan Kota Tinggi. Ramai yang tanya bila Air Terjun Kota Tinggi nak buka? Menjawab soalan tersebut sebenarnya memang kita nak buka Air Terjun Kota Tinggi cuma Yang Berhormat Speaker pada masa ini pihak PBT sedang mengkaji dari segi keselamatan di kawasan tersebut. Kita semua sedia maklum Yang Berhormat Speaker pada tahun 2019, 2020 dan pada tahun 2023 berlakunya banjir besar di kawasan tersebut yang melibatkan kerosakan produk-produk pelancongan kita di situ. Kita punya swimming pool rosak, rumah rosak, bilik air semuanya rosak dan kita bukan belanja sikit Yang Berhormat Speaker, kita belanja dalam RM3.5 juta dan akhirnya semuanya dihancurkan di sebabkan monsun timur laut dan banjir. Banjir kepala air yang turun merosakkan semua harta benda. Jadi, sebab itu di peringkat Kerajaan Negeri kita sedang melaksanakan kajian dan perancangan teliti bagi memastikan infrastruktur-infrastruktur ini dapat kita naik taraf dan menyelesaikan isu banjir dan dari segi kepala air. So itu yang sedang dilaksanakan kerana kita mengambil ikhtibar pada tahun 2021 di Kedah, Gunung Jerai berlakunya banjir dan juga kepala air yang turun meragut enam nyawa yang terkorban Yang Berhormat Speaker. Baru-baru ini di Perak, di Perak di Sungai Jahang, Kampar tiga orang meninggal dunia disebabkan kepala air. Jadi, walaupun kita hendak buka air terjun Kota Tinggi ini Yang Berhormat Speaker, tetapi di atas faktor keselamatan kita terpaksa membuat kajian yang lebih terperinci dan juga mengambil tindakan atas kajian tersebut, sebelum kita dapat membuka Air Terjun Kota Tinggi tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Yang Amat Berhormat di Sedili banyak gajah, mungkin itu boleh jadi produk pelancongan juga. Dijemput Yang Berhormat Tangkak. Ya, saya bagi satu lagi peluang.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Ok. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor. Bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026, kita perlu pelbagai agensi jabatan termasuk organisasi-organisasi swasta untuk membantu. Jadi, soalan tambahan daripada Tangkak adalah, adakah Kerajaan Negeri ada sebarang perancangan untuk melibatkan agensi-agensi pelancongan tempatan supaya melalui rangkaian pelanggan atau rangkaian pelancong mereka untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor supaya kita dapat memeriahkan lagi Tahun Melawat Johor 2026? Terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Speaker, menjawab soalan Yang Berhormat Tangkak, tentang melibatkan pelbagai agensi untuk mempromosikan, mempergiatkan sektor pelancongan. Seperti yang saya sebut tadi pada bulan Januari tahun hadapan, kita akan mengadakan sesi libat urus bersama penggiat-penggiat pelancong di seluruh negeri. Ini termasuklah travel agent, airlines dan agensi-agensi kerajaan itu memang wajib dan ini bukan kali pertama kita akan mengadakan sesi libat urus. Sebenarnya pada tahun ini, sudah kita gerakan dan kita buat program sesi libat urus itu kita buat dekat Desaru, awal tahun ini. Jadi, kerja-kerja melibatkan pelbagai pihak itu adalah usaha berterusan Yang Berhormat Speaker. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar. Tak ada? Dijemput Yang Berhormat Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Apakah tindakan yang telah dilakukan oleh Ranhill SAJ mengenai isu tekanan air rendah terutamanya waktu puncak di kawasan sekitar Kampung Melayu Kukup dan Kukup Laut yang sering kali di hadapi penduduk di sana?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bismilahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kukup. Ganggun bekalan air yang berlaku di sekitar kawasan Kampung Melayu Kukup dan Kukup Laut ini adalah bersifat gangguan luar jangka. Bagi menangani isu ini pihak Ranhill SAJ telah menjalankan semakan di tapak bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, bekalan air kepada penduduk di kedua-dua kampung adalah dari tangki air Permas 2. Kejadian tekanan air rendah dan terputus bekalan ini adalah di sebabkan oleh paras air di tangki tersebut menyusut. Kenapa paras air tangki ini merosot? Ini disebabkan oleh beberapa insiden paip pecah yang telah berlaku. Untuk rekod, kita menerima sebanyak 34 aduan dan yang terbaru termasuklah 5 kes paip pecah atau bocor telah direkodkan melibatkan gangguan dan penutupan paip utama bersaiz 450 mm ke tangki Permas. Iaitu insiden yang berlaku pada 26 Oktober 2024, paip bersaiz 250 mm pecah di Jalan Ulu Choh Lama. Kemudian pada 2 November 2024 berlaku sekali lagi kejadian paip pecah, paip 100 mm di Kampung Permas Kukup. Pada 3 November 2024 berlaku tiga kejadian paip pecah. Iaitu di Jalan Pontian Kukup, Batu Enam Penorok melibatkan paip bersaiz 450 mm dan saiz 100 mm. Manakalan di Jalan Kukup Laut melibatkan paip 150 mm yang pecah.

Walau bagaimanapun, pihak operasi Ranhill SAJ telah bertindak melakukan pengolahan sistem bekalan dengan mendapatkan air dari tangki Permas 3. Tindakan ini berjaya meningkatkan dan menstabilkan tekanan air di kawasan yang terjejas. Langkah melaksanakan pengolahan sistem bekalan adalah tindakan yang di ambil dan di guna pakai setakat hari ini untuk menstabilkan bekalan air di kawasan yang terjejas. Namun begitu, tindakan jangka masa panjang juga sedang diusahakan untuk mengimbangi permintaan akan datang selari dengan pembangunan setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup. Bagi perancangan jangka masa panjang. Ranhill SAJ mencadangkan pemasangan paip baru jenis keluli lembut pelbagai saiz, 400 mm hingga ke 700 mm dari LRA Gunung Pulai ke tangki Permas 2 dan tangki Permas 3. Sebelum ini bekalan ini datang daripada LRA Gunung Pulai, jadi kita cadangkan satu projek baru supaya tangki-tangki ini dapat juga sumber daripada LRA Gunung Pulai. Butiran projek adalah seperti berikut, anggaran kos RM64 juta. Status semasa, proses reka bentuk oleh Jurutera Perunding. Insya-Allah kerja-kerja ini akan bermula Yang Berhormat Kukup pada suku keempat tahun depan dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Kukup.

Soalan tambahan Yang Berhormat. Terima kasih kepada jawapan yang telah di berikan oleh Yang Berhormat EXCO. Saya mempunyai soalan adakah pihak Ranhill SAJ ini mempunyai SOP untuk menghadapi masa-masa masalah tekanan air dan air terputus? Kerana kita tidak boleh memberi jawapan masalah paip pecah dan sebagainya. Setidak-tidaknya apa SOP Ranhill kalau seandainya ada bekalan terputus untuk beberapa jam, sekerat hari adakah ianya akan menghantar lori ataupun bantuan-bantuan segera bagi melegakan keadaan yang di hadapi oleh masyarakat? Terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kukup. Sebenarnya pihak Ranhill SAJ memang ada SOP, cuma kekangan yang berlaku kadang-kadang Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup ialah pengurusan hanya mengambil kira aduan yang sampai kepada mereka. Sebab, setiap rumah atau kawasan ini dia berbeza. Contohnya Yang Berhormat Kukup, ada kawasan yang mana walaupun berlaku gangguan tetapi dia dapat tempoh masa untuk dia rasa itu lambat sikit, sebab kawasan itu kawasan yang mempunyai tangki simpanan di rumah masing-masing.

Oleh itu, selalunya bila air ini betul-betul kering, barulah pihak Ranhill SAJ dapat aduan yang banyak sekaligus. Tetapi insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, sebenarnya SOP yang kita guna pakai sepanjang masa ini termasuklah SOP semasa perayaan dan insya-Allah terima kasih juga kepada Yang Berhormat Kukup bangkitkan isu ini, kita akan minta supaya dipertingkatkan lagi SOP yang sedia ada. Seperti yang saya sebutkan tadi, SOP sedia ada ialah bergantung kepada aduan semasa dan aduan ini seperti yang kita sedia maklum tidak centralized ataupun tidak dapat diguna pakai untuk semua tempat dan sebagainya. Jadi, insya-Allah SOP ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Dan sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat ada cadangan berkenaan dengan SOP, bolehlah maklumkan kepada pihak kami. Terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya nombor 13.

Daerah Johor Bahru begitu pesat pembangunannya. Berapa banyakkah rumah RMMJ, RSK, RTK dibina dan berapa buah telah dibina dalam DUN Kota Iskandar?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Iskandar menanyakan tentang berapa banyak rumah mampu milik di daerah Johor Bahru dan dalam DUN Kota Iskandar. Untuk makluman YB, rekod terkini sebanyak 13,461 unit rumah telah berjaya disiapkan sejak 2022. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,207 unit rumah mampu milik telah disediakan khusus di DUN Kota Iskandar. Iaitu pemaju Scientex Quatari di Taman Pulai Mutiara dengan membina sebanyak 787 unit jenis B dan 420 jenis C. Pencapaian ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat untuk memiliki rumah mampu milik di dalam bandar. Selain itu, terdapat 3,692 unit Rumah Mampu Milik Johor yang disasarkan siap sehingga tahun 2027. Jumlah dan lokasi adalah seperti berikut.

Pertama, Taman Selesa Indah, Taman Bukit Senadi, Taman Pulai Mutiara 2, Taman Pulai Mutiara 1, di Taman Nusa Central dan Taman Pulai Duta. Keseluruhan rumah mampu milik berjumlah 3,692 yang berharga bermula daripada RM100,000.00, RM150,000.00 dan RM300,000.00. Kerajaan Negeri melalui PKPJ dengan kerjasama KPRJ turut menyediakan Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor atau PIPBJ dengan jumlah keseluruhan 2,604 unit yang akan dibina di kawasan DUN Kota Iskandar dan dijangka siapa secara berfasa bermula tahun 2026 sehingga 2027. Pecahan jenis rumah dan harga adalah sebagaimana berikut:

Jenis C, iaitu RM150,000.00, 513 unit. Jenis D, RM250,000.00, 857 unit. Jenis D2, RM300,000.00, 1,190 unit dan rumah kedai KKS 44 unit berharga RM300,000.00. Dan insya-Allah jangkaan CCC dan serah kunci fasa 1 pada tahun 2026 berjumlah 1,000 unit dan jangkaan CCC fasa 2 dan fasa 3 tahun 2027 berjumlah 1,649 unit. Kerajaan Negeri juga komited dalam memastikan keperluan perumahan rakyat dipenuhi dengan menyediakan rumah transit di kawasan Johor-Singapore Special Economic Zone melalui inisiatif seperti Rumah Transit Bangsa Johor atau dipanggil RTBJ. Inisiatif ini bertujuan memberikan tempat tinggal sementara yang selesa dan mampu milik kepada golongan muda, pasangan baru berkahwin, sedang mencari rumah tetap yang mana program ini berbentuk menyewa sambil menyimpan. Sewa dan simpan. Dengan kadar sewaan 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran dan 30 peratus daripada bayaran bulanan atau RM190.00 sebulan di simpan untuk penyewa. Dan insya-Allah selepas 3 tahun atau 36 bulan, duit yang terkumpul dalam simpanan tersebut dianggarkan RM6,800 atau RM7,000.00 dan untuk 60 bulan atau 5 tahun, duit yang terkumpul adalah RM11,000.00. Ini ditawarkan kepada golongan muda yang telah berkahwin dengan pendapatan seisi rumah antara RM3,000.00 hingga RM6,000.00.

Untuk makluman, sebanyak 3,008 unit Rumah Transit Bangsa Johor telah disediakan oleh Kerajaan Negeri melibatkan RTBJ Taman Kempas Utama 92 unit, RTBJ Bandar Putra Kulai 216 unit dengan peruntukan berjumlah RM14.08 juta. Manakala 230 unit masih dalam pembinaan melibatkan RTBJ Taman Laman Indah, Iskandar Puteri 100 unit. Di Kluang iaitu RTBJ Taman Tasik Indah 92 unit dan RTBJ Mutiara Rini di Johor Bahru 38 unit. Dan insya-Allah, projek-projek yang disebutkan tadi, status terkini di Taman Kempas Utama, 92 unit telah ditawarkan, di Bandar Putra Kulai 216 unit akan ditawarkan pada tahun 2025, di Taman Laman Indah Iskandar Puteri 100 unit siap pada tahun 2026, di Taman Tasik Indah Kluang 92 unit siap pada tahun 2025, di Mutiara Rini Iskandar Puteri 38 unit siap pada tahun 2026, di Bandar Penawar Pengerang 60 unit siap pada tahun 2025 dan di Taman Nusa Sentral Iskandar Puteri 71 unit akan siap pada tahun 2027. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan saya ucapkan terima kasih juga kepada Yang Berhormat EXCO dan Kerajaan Negeri begitu peka tentang permasalahan perumahan rakyat di kawasan DUN Kota Iskandar dan khas, umumnya di negeri Johor. YB Datuk Speaker, soalan tambahan saya, apakah nasihat utama kepada pemohon-pemohon untuk mudah permohonan teknikalnya, sebab ada yang dapat tawaran tetapi loan banknya gagal. Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB. Pertama, bila bercakap tentang permohonan rumah mampu milik selepas direjuvinasi pada tahun 2022, semua rumah mampu milik bawah harga RM300,000.00, diwajibkan oleh semua pemaju-pemaju register atau buat pendaftaran dalam sistem e-rumah Johor atau e-rumah.johor.gov.my. Maknanya, merupakan satu kesalahan kepada pemaju jika dia tidak register dalam perbadanan sistem kita iaitu di bawah Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor. Itu yang pertama.Yang kedua, kaedah kita sekarang ini, di PKPJ ialah pemohon-pemohon, pemohon-pemohon boleh memohon melalui portal e-rumah Johor.

Maknanya, pembinaan rumah mampu milik di Johor, di Mersing, di Kota Tinggi akan register pendaftarannya dalam sistem e-rumah Johor. Jadi, mereka tak payah pergi kepada pemaju, mereka masuk dalam portal e-rumah dan mereka boleh pilih, rumah mana yang mereka berminat untuk mohon. Dan sistem ketika ini ialah kalau untuk rumah yang telah siap, iklan biasa satu bulan. Untuk rumah yang 50 peratus ke atas pembangunannya telah siap, iklannya dua bulan dan rumah yang belum bermula kerja-kerja, hanya kerja tanah iklannya tiga bulan. Jadi, selepas iklan itu tamat, akan diadakan, dipanggil J-Home One Stop Centre. Maknanya, kita serah sijil kepada mereka yang berjaya dalam pengundian untuk diberikan sijil dan di situ ada bank-bank untuk menawarkan pembiayaan untuk loan yang tersebut.

Menjawab kepada soalan YB tadi, sebenarnya, perkara pertama pemohon-pemohon nak mohon rumah mampu milik adalah lebih baik mereka bertanya kepada bank-bank, berapa jumlah loan yang boleh dilepaskan oleh bank tersebut. Maknanya, kalau pergi ke bank, bawa pay slip suami isteri, bank kata dia boleh lepaskan loan untuk RM100,000.00, maka mohonlah rumah untuk RM100,000.00. Tapi kalau bank kata boleh mohon untuk RM200,000.00, layak, maka pilihlah rumah dalam portal e-rumah untuk RM200,000.00. Ada juga isu selepas dapat sijil, dapat tahu rumah, pemohon-pemohon ni tidak ada modal awal, yakni dia tidak dia kena, katalah rumah RM100,000.00, dia kena bayar sekurang-kurangnya 10 peratus atau RM10,000.00. Jadi, saya beri nasihat bahawa mereka boleh pergi cari bank-bank yang menawarkan loan sebanyak RM100,000.00 dan ada juga 100 peratus dan ada juga 110 peratus. Terima kasih YB Speaker.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 14.

TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang. Apakah jaminan kerajaan bagi memastikan ke semua peserta di dalam program ini mendapat pekerjaan mengikut kemahiran mereka memandangkan kebanyakan majikan lebih mengutamakan pekerja asing.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. TVET merupakan proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang. Kerajaan amat komited dalam memastikan graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) mendapat peluang pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran mereka. Usaha ini bukan sahaja untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi juga bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara. Beberapa langkah strategik telah pun dirangka oleh Kerajaan Persekutuan melalui Dasar TVET Negara 2030, yang menjadi panduan utama dalam, dalam merevolusi sistem pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia. Rangka ini menekankan kerjasama erat kerajaan, institusi TVET dan industri serta penubuhan Majlis TVET Negara sebagai badan penyelaras pusat untuk memastikan pelaksanaan TVET relevan dengan keperluan pasaran dan menyokong permohonan sektor industri berteknologi tinggi.

Di peringkat Kerajaan Negeri Johor, yang mana pula Majlis Penubuhan Bakat Negeri Johor (JTDC) ditubuhkan bagi menyelaras modul latihan mengikut keperluan industri memastikan tenaga kerja tempatan berkemahiran, berdaya saing dan responsif terhadap permintaan pasaran pekerjaan. JTDC juga bukan sahaja berfungsi sebagai pusat sehenti tetapi juga memainkan peranan aktif dalam memastikan pelabur memperolehi tenaga kerja mahir yang benar-benar memenuhi keperluan semasa mereka. Melalui pendekatan ini, JTDC dapat mengurangkan jurang ketidakpadanan tenaga kerja yang sering menjadi isu utama dalam pasaran pekerjaan. Pada masa yang sama, usaha ini secara langsung menggalakkan lebih ramai majikan untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan sekali gus menyokong agenda pembangunan sumber manusia tempatan. Sebagai contoh, Unit Strategik Modal Insan selaku sekretariat JTDC di peringkat Kerajaan Negeri Johor telah bekerjasama dengan PERKESO Johor untuk menganjurkan karnival kerjaya yang menawarkan hampir 15,000 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor, pada hari pelancaran JTDC, menunjukkkan komitmen Kerajaan Negeri Johor dalam menyediakan platform bagi graduan tempatan bertemu dengan majikan.

Di samping itu, JTDC bertindak sebagai pangkalan data utama bagi tenaga kerja yang merangkumi statistik terperinci tentang penawaran tenaga kerja dan keperluan industri. Data ini dikumpulkan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti institusi pendidikan dan latihan, agensi persekutuan dan negeri, pemain industri serta portal pekerjaan. Dengan adanya data yang komprehensif, pihak industri dapat membuat keputusan yang lebih baik dalam merancang pengambilan pekerja dan strategi permohonan tenaga kerja. Sebagai penghubung antara industri dan institusi pendidikan, JTDC juga memberi penekanan kepada pelaksanaan program-program pembangunan bakat yang strategik. Ini termasuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang bertujuan memastikan bakat tempatan kekal relevan dengan perubahan dalam keperluan industri. Lebih daripada itu, JTDC turut memperkasakan usaha penempatan pekerjaan secara terus, yang mana ini dapat mempercepatkan proses pertemuan antara pencari kerja dan majikan. JTDC akan menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan terhadap keberkesanan program latihan dan penempatan pekerjaan. Maklum balas daripada majikan dan graduan akan digunakan untuk menambah baik program sedia ada, memastikan kesesuaian dengan keperluan industri dan meningkatkan keboleh pasaran graduan TVET. Justeru, penubuhan JTDC oleh Kerajaan Negeri Johor akan dapat membantu golongan yang mengikuti aliran TVET mendapat latihan yang sesuai dan relevan dengan keperluan industri semasa. Ini akan

dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka dan secara langsung membantu mereka untuk mendapat pekerjaan yang sesuai. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput.

Puan Rashidah binti IsmailUMNO · BNPasir Raja

Terima kasih YB EXCO yang telah menjawab soalan saya itu. Soalan tambahan saya adalah kebanyakan pemohon-pemohon kemahiran ini telah pun bekerja.Soalan saya, apakah semua jenis pekerjaan yang memerlukan kemahiran, ada tawaran kursus kemahiran di TVET dan apakah peserta-peserta kursus ini ada disediakan elaun kerana kemungkinan ada peserta yang mengambil kursus kemahiran ini secara persendirian, yang tidak dihantar oleh pihak syarikat. Terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Berkaitan dengan kesediaan elaun atau pun tanggungan sebahagian kos untuk menentu, untuk menuntut atau pun mengambil bahagian dalam kursus rescheduling, upskilling di peringkat Kerajaan Negeri Johor melalui program pro-mahir, sejak 2018 di mana hampir 3,500 Bangsa Johor telah pun melalui program tersebut dan untuk tahun hadapan Kerajaan Negeri Johor telah pun memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membantu Bangsa Johor yang berminat, untuk menjalani atau pun untuk mengambil bahagian dalam kursus TVET, atau pun rescheduling, upskilling. Dan khusus untuk Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura, pada tahun hadapan juga, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan HRD Corp telah pun memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk membantu pekerja, yang sedang bekerja atau pun yang baharu memasuki pasaran pekerjaan untuk mendapat latihan tambahan atau pun latihan-latihan lain untuk meningkatkan daya saing mereka. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 11.

Apakah usaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan teknologi dan mekanisasi sektor pertanian dalam kalangan petani?

Speaker

Nombor?

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Nombor 11.

Speaker

16.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Oh, 16. Minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 16.

Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menyebarluaskan advokasi kesedaran dan pendidikan mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Akta Anti Gangguan Seksual 2022 kepada masyarakat umum?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Penawar. Soalan yang diajukan kepada saya oleh Penawar, adalah apakah…

Speaker

Sebentar, tadi saya dah panggil Penawar, Penawar geleng kepala. Itu bermaksud yang Penawar, Penawar macam dah anggap soalan itu tak relevan, ya. Sila, teruskan.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya teruskan Yang Berhormat Datuk. Soalan yang diajukan kepada saya adalah, apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menyebarluaskan advokasi kesedaran dan pendidikan mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga 1924 dan Akta Anti Gangguan Seksual tahun 2022 kepada masyarakat umum?

Kerajaan negeri Johor melalui, melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri sentiasa mengambil berat akan isu-isu keganasan rumah tangga. Oleh itu, satu susulan daripada penguatkuasaan Garis Panduan Akta Gangguan Seksual Tahun 2022, Jabatan Pembangunan Wanita telah melaksanakan Program Advokasi Pencegahan dan Anti Gangguan Seksual ke seluruh negara mulai tahun 2023 di bawah Kluster Wanita Selamat. Melalui Pejabat Pembangunan Wanita negeri Johor, kesinambungan pelaksanaan program pada tahun 2024 telah dilaksanakan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi bagi zon selatan.

Seterusnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita giat melaksanakan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun sebagai tanda solidariti terhadap isu pandemik senyap atau shadow pandemic, dengan izin yang tular dalam masyarakat hari ini. Keganasan terhadap wanita kini merangkumi pelbagai tindakan yang melibatkan penggunaan kekerasan secara fizikal, seksual, emosi atau psikologi terhadap wanita. Melalui pelbagai kempen advokasi dan perkongsian maklumat yang telah dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor, Jabatan Pembangunan Wanita berharap agar isu ini dipandang serius dan usaha bersepadu dilaksanakan, dilakukan oleh pelbagai lapisan rakyat Malaysia.

YB Datuk Speaker, selain itu Pejabat Pembangunan Wanita dengan kerjasama strategik dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim giat melaksanakan fungsi masing-masing untuk melaksanakan siri Agrokasi Kesedaran dan Pendidikan mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga dan Akta Anti Gangguan Seksual 2022 kepada komuniti dengan objektif berikut:

1. Memberi pendedahan tentang isu keganasan terhadap wanita dan kaedah terbaik dalam menghentikan sebarang bentuk keganasan.

2. Menyemarakkan kempen menangani keganasan terhadap wanita.

Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya sila.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat atas penerangan tadi. Saya yakin dan percaya ramai yang dah tahu apa itu yang dikatakan gangguan seksual dan bentuk-bentuk gangguan seksual. Tetapi bolehkah Yang Berhormat berkongsi secara terperinci lagi di dalam Dewan ini, apakah itu gangguan seksual dan apakah bentuk gangguan seksual. Mungkin aktiviti-aktiviti harian yang kita sedar atau tidak sedar ada yang tergolong dalam gangguan seksual?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Yang Berhormat Datuk Speaker terima kasih dan terima kasih kepada Penawar. Gangguan seksual ini ditafsirkan sebagai melakukan apa-apa kelakuan yang tidak diingini bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang tertujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan satu ancaman kepada kesejahteraan seorang itu. Antara bentuk gangguan sosial Datuk Speaker, adalah gangguan secara lisan iaitu segala pertuturan berunsur seksual secara jenaka, komen atau hinaan. Kedua, gangguan secara fizikal iaitu

segala bentuk perbuatan fizikal seperti sentuhan atau jarak yang rapat. Ketiga, gangguan secara visual dengan menghantar mesej atau imej berunsur seksual. Keempat gangguan secara isyarat iaitu dengan membuat sebarang bentuk bunyian, kenyitan mata atau menjelir lidah. Kelima gangguan secara bukan lisan dengan memberi pandangan atau kerlingan mata yang memberikan bayangan niat atau keinginan berbentuk seksual.

Datuk Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat Akta Anti Gangguan Seksual Tahun 2022 ini telah diwartakan pada 18 Oktober 2022. Seksyen 25 menjelaskan keperluan penyediaan garis panduan bagi program advokasi yang memfokuskan kepada pencegahan dan kesedaran berkaitan gangguan seksual. Terdapat akta yang melindungi mangsa apabila mangsa tampil membuat laporan. Antara akta yang melindungi mangsa sebagai masyarakat itu adalah pertama, Akta Anti Gangguan Seksual itu sendiri tahun 2022, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Manakala akta yang akan melindungi mangsa dalam konteks pekerja pula adalah:

1. Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993. 2. Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (myPPSM) ceraian PO 132, Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual Di Tempat Kerja. 3. Akta kerja 1955. 4. Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib Dan Surcaj 2000 Akta 605. 5. Akta Perhubungan Perusahaan 1965. 6. Akta Keselamatan dan Kesalahan Pekerjaan 1994, Kod Amalan Untuk Mencegah Dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja.

Datuk Speaker, saya sebagai Pengerusi Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, menyeru orang ramai untuk memanfaatkan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam sehari demi mewujudkan masyarakat yang peka dengan persekitaran. Talian ini boleh diakses melalui 3 saluran. Pertama, talian bebas tol 15999, aplikasi whatsApp 019-2615999, aplikasi mudah alih mobile apps Talian Kasih 15999. Talian kasih ini menerima aduan dan pertanyaan berkenaan penderaan, pengabaian kanak-kanak, pembuangan bayi, gangguan seksual, kebajikan kumpulan sasar, bantuan perlindungan, perkhidmatan kesihatan produktif, perkhidmatan kaunseling serta bimbingan sosial remaja. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ingat tu Ahli-Ahli Yang Berhormat ya, bunyi pun tak boleh. Saya ingat esok Ahli-Ahli Yang Berhormat ni diberi kursus apa itu sexual harassment supaya jangan nanti terperangkap. (Dewan bertepuk). Johor Lama nak tanya ke.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNJohor Lama

Boleh? Soalan tambahan, terima kasih Tuan Speaker. Saya nak bertanya berkaitan dengan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Apakah bentuk keganasan rumah tangga yang dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 ini. Terima kasih Tuan Speaker.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Datuk Speaker, terima kasih Johor

Speaker

Johor Lama.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Akta Keganasan Rumah Tangga tahun 1994 ini adalah satu akta yang melibatkan tentang berlakunya keganasan di antara isteri dan suami dan juga berlaku juga keganasan isteri kepada suami. Jadi untuk makluman Johor Lama serta Ahli Dewan sekalian, jika berlakunya keganasan itu mangsa boleh membuat laporan kepada polis tentang perkara-perkara tersebut dan akta ini telah lama dilaksanakan. Dan saya harap juga

jika berlakunya perkara-perkara seperti ini, sepertimana saya telah maklumkan tadi bahawa ada talian kasih yang telah disediakan, yang saya sebutkan tadi bahawa lapor saja ke situ dan yang mangsa yang kena juga boleh membuat laporan polis untuk tindakan seterusnya, terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Tapi bagi YB lelaki kalau keganasan rumah tangga tak payahlah report, redha jelah. Dijemput Yang Berhormat Skudai.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Datuk Speaker. Soalan saya nombor 17.

Pencemaran alam sekitar seperti pencemaran udara (pembakaran haram) pencemaran air, pencemaran bau dan pembuangan sampah sering berkait dengan kilang tidak berlesen datu kilang yang tidak dipantau pihak berkuasa. Mohon berikan statistik berkenaan jumlah kilang haram yang ada dan tindakan yang diambil?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 18.

Apakah tindakan yang boleh diambil jika sesuatu kawasan khususnya kawasan kediaman dilanda pencemaran bau terutamanya bau dari bahan kimia yang kuat?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 19.

Nyatakan status Jawatankuasa Khas yang dibentuk untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar yang kerap berulang di negeri ini?

Speaker

Sila.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Terima kasih soalan daripada Skudai, Panti dan juga Penawar. Kilang berasap di hujung titi, sisa kimia mencemar bahaya, jangan buang sisa sesuka hati, hukum menanti berat seksanya. Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ataupun JKTAS Negeri Johor telah ditubuhkan selaras hasrat Kerajaan Negeri Johor bagi menangani isu-isu pencemaran di negeri Johor melalui tindakan pemantauan dan penguatkuasaan punca-punca alam sekitar. JKTAS juga menyelaraskan tindakan antara agensi melalui bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil. Pada masa ini, JKTAS masih aktif dan mesyuarat JKTAS akan diadakan mengikut isu dan keperluan semasa.

Bagi soalan YB Skudai, kilang haram adalah di bawah bidang kuasa dan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT. Walau bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar menjalankan siasatan kes pencemaran alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas sebarang punca pencemaran termasuk kilang haram. Pada tahun 2024, sebanyak 22 pemeriksaan kilang haram telah dijalankan oleh JAS Johor melibatkan 12 operasi bersepadu di mana 5 adalah di daerah Johor Bahru. Sebanyak 15 premis telah diberi notis arahan dan dikenakan penahanan operasi.

Bagi soalan Panti pula, jika sesuatu kawasan khususnya kawasan kediaman dilanda pencemaran bau, terutamanya bau dari bahan kimia kuat penduduk atau orang awam boleh menghubungi pihak bomba ataupun HAZMAT di talian kecemasan 994 atau membuat

aduan ke hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian 1800882727 yang beroperasi 24 jam. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya jemput.

Saya ada soalan tambahan. Soalan tambahan saya adalah sejauh mana projek perlombongan pasir menyumbang kepada pencemaran di kawasan sungai berhampiran dan adakah terdapat data berapa pencemaran yang diakibatkan oleh perlombongan pasir pada tahun ini?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Ok, terima kasih soalan daripada Skudai. Terima kasih atas soalan tersebut dan data itu saya tidak diperolehi sekarang. Saya akan memberi jawapan secara bertulis kepada pihak YB Skudai, terima kasih.

Speaker

Jemput Panti.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Berhormat EXCO terima kasih atas jawapan yang telah diberikan. Soalan saya, sejauh mana keberkesanan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah tajuk pencemaran bau kerana setahu saya di bawah tajuk pencemaran bau di bawah akta itu, tiada spesifik di nyatakan pasal pencemaran bau, dia hanya pencemaran udara. Mungkin daripada debu ataupun toksik dan sebagainya sesuai tetapi bagaimana pula dengan pencemaran bau yang mungkin contohnya hasil daripada tempat pembuangan sampah dan sebagainya, terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Ok. Terima kasih soalan daripada Panti. Bagi Akta Kualiti Alam Sekeliling baru saja buat pindaan dalam tahun 2024 dan sebelumnya mungkin hukumannya ataupun denda penaltinya cuma di antara RM5,000.00 hingga RM100,000.00. Tetapi, dengan pindaan tersebut hukuman lebih berat akan dikenakan sehingga denda kadar denda antara RM5,000.00 hingga RM10 juta. Selain itu, sebelumnya mungkin tak ada mandatori untuk penjara dan baru saja buat pindaan untuk Menteri tidak melebihi 5 tahun dan juga ini fokus kepada pembuangan bahan kimia tak kira udara ke, bau ke akan boleh dijatuhkan hukuman tersebut. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 28.

Sejauh manakah usaha yang telah dilakukan oleh MAINJ dalam mendepani isu ajaran sesat dan juga pengabaian terhadap kanak-kanak serta penggunaan buruh paksa terutamanya di Negeri Johor memandangkan isu ini telah tersebar luas melalui satu syarikat atau organisasi?

Speaker

20, 28 dah jauh sangat tu.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terperanjat saya Datuk Speaker soalan ini memang nombor 20. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullah. Terima kasih Yang Berhormat Kukup. Yang Berhormat Datuk Speaker.Yang Berhormat Kukup bertanya sejauh mana usaha Jabatan Agama Islam Negeri Johor mendepani isu ajaran sesat dan juga pengabaian kepada kanak-kanak serta penggunaan buruh paksa terutamanya di negeri Johor memandangkan isu ini tersebar melalui satu syarikat atau organisasi. Di pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor, kita telah ada garis panduan penubuhan Jawatankuasa Membanteras Isu Ajaran Sesat yang telah pun kita luluskan pada 23 Ogos tahun ini Datuk. Garis panduan ini dianggotai oleh Majlis Agama Islam, Jabatan

Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Bahagian Pendidikan Islam, PDRM, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor serta beberapa agensi yang lain termasuk Imigresen.

Kenapa kita buat begini Datuk Speaker? Sebab memang ancaman ajaran sesat ini begitu besar. Sehingga apa yang dimaksudkan oleh YB Kukup tadi sememangnya merujuk kepada satu pertubuhan dan pertubuhan itu saya kena sebut Datuk, namanya GISBH. Johor telah pun fatwakan sebagai sesat dan juga menyeleweng maka jangan dekati, jangan diamalkan. Datuk, bercakap pasal soalan ini yang saya kena terangkan kepada Dewan yang mulia, GISBH ini antara sebab dia sesat dan menyeleweng sebab masih amalkan Aurad Muhammadiah. Aurad Muhammadiah ini memang sesat, MKI pun dah fatwakan sesat. Maka, ini kita banteras habis-habisan daripada perkumpulannya termasuk juga peniagaannya Datuk Speaker. Tapi yang jadi polemik masyarakat kita ialah bila mana orang kita sebut kenapa dikacau perniagaannya? Betulkan akidahnya Datuk, pertubuhan ini polis dah siasat, Jabatan Mufti dah kaji menggunakan perniagaannya untuk ajaran sesat. Maka, kerajaan kena dan terpaksa melumpuhkan perniagaan yang mereka berselindung disebaliknya. Kebimbangan YB Kukup juga tentang pengabaian kanak-kanak, ia berasas. Sebab pengabaian kanak-kanak berlaku Datuk Speaker. Saya dengan YB Serom, kita jumpa anak-anak yang dikumpulkan di Johor Bahru ini. Di bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada anak-anak sekecil bayi sampai yang umurnya bawah 18 tahun. Mereka semua ini diselamatkan Datuk Speaker, sementara pihak Polis, Jabatan Mufti, penguatkuasa membuat semakan dan siasatan ke atas orang dewasa dalam kelompok mereka. Berkenaan dengan pengabaian kanak-kanak betul ia berlaku. Menggunakan kanak-kanak bagi maksud buruh murahan. Dia berlaku Datuk Speaker, jadi semua perkara ini mesti di pandang serius dan jangan kita anggap ianya satu penganiayaan kepada organisasi Islam. Islam tidak pernah mengajar kita aniaya orang perempuan, belum cerita pasal kebajikan orang perempuan, YB Serom baru sebut tentang sexual harassment, saya tak ulas panjang Datuk Speaker tetapi siasatan Polis mendapati berlaku. Maka, bagi organisasi ini saya bagi tahu keputusan di sini kepada YB Kukup alhamdulillah dengan adanya jawatankuasa menangani isu ajaran sesat ini insya-Allah Kerajaan Johor secara serius mendepani perkara ini.

Pelbagai usaha dijalankan Datuk Speaker, untuk membendung ajaran ini. Kita bukan sahaja mengenalpasti bentuk-bentuk ajaran kita juga kerjasama dengan PDRM kenal pasti pengikutnya. Ada ajaran lain Datuk Speaker, namanya Milah Abraham, malangnya Datuk Speaker, orang kampung saya pun ada juga, kena tangkap juga laki bini. Yang lebih menakutkan Dewan yang mulia, mereka ini dianggotai sebahagiannya oleh penjawat awam. Tak malu nak sebut tapi kena juga bagi tahu, pesara kerajaan pun ada. Mereka yang terlibat dalam pendidikan agama juga ada. Jadi, maksudnya jangan ingat perihal ajaran sesat ini dia akan pergi kejar kepada orang yang tak reti agama sahaja Datuk Speaker, yang orang berilmu pun dia kejar juga. Milah Abraham antara yang menakutkan Datuk Speaker, kalau saya boleh kongsikan antara modus operandi mereka, selepas mereka berdakwah secara senyap mereka pergi kepada dakwah secara terang-terang. Kemudian terdapat satu peringkat mereka sebenarnya telah diusir daripada Sarawak. Kerajaan Sarawak ini bagusnya mereka ada kuasa autonomi, orang tak boleh masuk dia boleh blacklist orang daripada masuk sempadan. Jadi, mereka kumpulan mereka balik ke Johor, Milah Abraham ini.

Dan, balik ke Johor tuan-tuan mereka telah cetuskan satu lagi pendekatan mereka namanya, Jihad Qital. Jihad Qital Datuk Speaker, bahaya jihad mereka boleh sampai ke unsur membunuh. Jadi, kebimbangan kita tentang perihal ajaran sesat memang betul mesti dibanteras habis-habisan. Dan, di antara yang kita tangkap pengikut Milah Abraham dijumpai bersamanya lima pucuk pistol. Maka, jangan main-main. Sebab itu di Johor Datuk Speaker, kita berikan syarat orang hendak mengajar agama kena ada tauliah. Lepas itu pula ada yang ngomel dengan EXCO Agama ini Johor ini tak mesra agama lah, semua hendak masuk kena sekat. Macam mana tak sekat Datuk Speaker, yang dah sekat pun dia boleh

masuk, bayangkan kalau kita benarkan siapa yang berupa wataknya macam orang guru agama mengajar yang mungkin pengajiannya itu tidak selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah al-Maturidiyah di Johor ini. Maka saya juga hendak beri pesan kepada mana-mana pihak, di Johor ini kita gunakan sahaja Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, jangan duk fikir-fikir lain. Jangan bimbang tentang ada fatwa yang pendapat orang agama yang kata tahlil malam Jumaat bidaah, Maulud Nabi bidaah Datuk Speaker, saya sebut di sini kita ada Mufti kita. Kita ada Jabatan Agama Islam yang mengkaji perihal hukum hakamnya.

Maka, orang Johor teruslah bertahlil, teruslah beryasinan, teruslah menyambut Maulidur Rasul SAW sebab ianya di benarkan penganjuran dan juga pelaksanaanya.Terima kasih, untuk mengatasi ajaran sesat program-program bersama masyarakat diteruskan, program kefahaman Islam, seminar ajaran sesat dan pelbagainya dibuat daripada peringkat tertinggi sehingga ke peringkat sekolah Datuk Speaker. Terima kasih, assalamualaikum warahmatullah. (Dewan bertepuk).

Speaker

Ya, sila Kukup.

Ya. Terima kasih Datuk Speaker, pertama saya minta maaf lah tadi pasal julung-julung kalinya soalan sampai ke dua puluh ini. Agak meriah jugalah kali ini di jawab secara serentak.

Speaker

Ke teringat rumah lain?

Soalan tambahan saya, boleh tak Yang Berhormat EXCO menjelaskan untuk beberapa tahun kebelakangan ini berapakah jumlah ajaran sesat yang dapat di kesan di negeri Johor dan juga berkaitan dengan tauliah pengajaran? Saya melihat mungkin antaranya kita ingin membendung tentang ajaran sesat dan juga pentauliahan yang diberi kepada penceramah-penceramah luar tetapi pada hakikatnya apa yang kita alami tauliah yang hendak diberi ini terlalu ketat dan sehingga kita tidak ada peluang pun untuk mendengar ataupun menjemput selebriti-selebriti yang mengajar agama untuk masuk ke negeri Johor. Saya rasa usaha ini perlu diperhalusi kerana tak semua orang yang kita beri itu mengajar ajaran sesat sehinggakan untuk memanggil penceramah motivasi pun sudah di cap sebagai penceramah agama. Dan saya melihat perkara ini tidak diberi peluang langsung kepada penceramah-penceramah yang ingin menyampaikan untuk mendapatkan tauliah. Bila kita angkat untuk dipanggil mereka, oh tolak, Johor tidak membenarkan. Kenapa tidak kita memberi ruang untuk ditemu duga, untuk disiasat terlebih dahulu dan nyatakan bahawa apabila dalam siasatan orang ini memang tidak mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita cop supaya akan datang orang ini kita tidak akan panggil tetapi peluang yang ada tidak dibagi. Ini menyebabkan agak kesukaran kerana kita lihat di negeri Johor ini, Majlis Maulid begitu panjang dan kita terpaksa berulang-ulang memanggil penceramah yang sama di dalam satu daerah. Terima kasih.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Soalan tambahan YB Kukup tentang berapa banyak ajaran sesat yang telah pun difatwakan? Datuk Speaker, daripada tahun 1986 sampai tahun ini kita dah ada 20 ajaran sesat yang kita fatwakan dan memang telah pun diwartakan. Maka, ini nanti kita boleh kongsikan dan boleh rujuk ke dalam laman web Jabatan Mufti Negeri Johor. Itu yang pertama.

Datuk, Yang Berhormat Kukup juga bertanya sekali lagi perihal tauliah yang telah saya ulas tadi. Datuk, saya kira inilah keunikan Johor. Johor ini tenang sekian lama sebab kita benar-benar mengawal. Saya percaya dan saya fahami keperluan sebanyak ramai daripada kita yang mahukan guru-guru ataupun tokoh-tokoh ilmuan luar berkunjung ke Johor. Datuk saya sebutkan, Johor ada kaedah dia semua pihak yang nak masuk Johor boleh mohon tauliah. Cumanya Datuk Speaker, YB Kukup, kadang-kadang mereka ini hendak terus masuk, nanti masjid ataupun taman buat maulud sebulan kita jemput yang sebulan itu. Memang tak

lepas. Jadi, guru-guru agama yang di luar ini saya hendak bagi nasihat jangan buat fitnah kat orang Johor. Kalau mereka rasa mereka boleh kongsikan ilmu mereka di Johor, mula lah menghormati undang-undang kita. Bukankah mereka tokoh-tokoh agama? Menasihati orang supaya mengikut perundangan. Maka, marilah kita menasihati semua tokoh-tokoh agamawan ini, mereka juga mesti menghormati budaya dan undang-undang negeri kita.

Maka Datuk Speaker, YB Kukup, saya nasihatkan semua yang mendengar bagi tahu kepada tokoh-tokoh agama yang kita minat mulai tahun ini, mohon lah tauliah kepada Kerajaan Johor. Maka, bila dipanggil temuduga jangan tak datang, YB Kukup ada antaranya yang bila mohon kita panggil temuduga sebab mereka mungkin lebih popular daripada kita, tak datang temuduga. Sebab dia kata saya dah biasa masuk surat khabar, masuk Youtube, masuk TV apa hal hendak kena temuduga? Begitu pula. Maka, saya beri nasihat setinggi mana pun kamu sampai kamu ke bumi Johor Darul Ta’zim perundangan, syaratnya wajib kamu ikut. Dan, itu nasihat saya kepada semua tokoh-tokoh agamawan yang di luar sana mudah-mudahan jadi contoh tauladan kepada semua. Wallahualam. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Memang elok pun ada tauliah ini sebab kita takut macam di Indonesia ada Mama Ghufron, Haba’ib dan sebagainya yang mengaku keturunan Rasulullah ya. Jadi, lebih terkawal sebenarnya dengan adanya menggunakan apa yang dikatakan tadi tauliah ya. Saya jemput Johor Jaya, tapi tak ada soalan tambahan.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 21.

Senaraikan hotspot dan nyatakan rancangan serta usaha mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius di kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Kesesakan lalu lintas di Pasir Gudang dan Johor Bahru adalah isu yang sangat meruncing terutamanya kerana kepesatan pembangunan dan peningkatan populasi di kawasan tersebut. Seiring dengan peningkatan ekonomi dan kemasukan penduduk baru, lebih ramai yang memiliki kenderaan sendiri. Ini menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang tidak disokong oleh peningkatan kapasiti jalan yang setara. Pasir Gudang adalah kawasan perindustrian utama di Johor dengan banyak kilang, pelabuhan dan perusahaan berat yang beroperasi di situ. Aktiviti logistik seperti pengangkutan bahan mentah dan produk menghasilkan trafik lalu lintas kenderaan berat yang tinggi khususnya di waktu puncak.

Johor Bahru pula merupakan pintu masuk utama ke Singapura dan ramai rakyat Malaysia berulang alik setiap hari untuk bekerja di sana. Jalan utama seperti Tambak Johor dan Lebuh Raya Link Kedua sering mengalami kesesakan di sebabkan peningkatan jumlah kenderaan dan prosedur Imigresen.

Untuk mengatasi kesesakan lalu lintas yang semakin serius di Johor Bahru khususnya di Pasir Gudang, Kerajaan Negeri Johor telah merancang beberapa inisiatif untuk mempertingkatkan kesaling hubungan dan kemudahan pengangkutan di kawasan-kawasan berkenaan. Melihat kebimbangan tersebut satu Jawatankuasa Khas bagi membincangkan isu kesesakan dan penyuraian trafik telah dibentuk di peringkat Kerajaan Negeri Johor dan untuk makluman Yang Berhormat, kawasan Pasir Gudang termasuk dalam 77 hotspot yang sedang di nilai satu per satu. Jawatankuasa ini memainkan peranan untuk merancang, mengurus dan mengkoordinasi usaha-usaha mengatasi kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di dalam kawasan Johor Bahru. Beberapa jalan utama seperti Lebuh raya Pasir Gudang sedang di naik taraf untuk menampung kapasiti lalu lintas yang semakin tinggi. Antara projek yang sedang berlangsung di Lebuh raya Pasir Gudang ialah Projek Menaik

Taraf Lebuh raya Pasir Gudang Fasa 2B dari persimpangan Bandar Seri Alam, Taman Rinting ke Pasir Gudang bernilai RM78 juta dan dijangka siap pada tahun 2026. Selain itu, kerja-kerja Menaik Taraf Lebuh Raya Pasir Gudang (FT17) Dari Persimpangan Perling Hingga Ke Susur Turun Lebuh Raya Utara-Selatan Pasir Gudang bernilai RM301 juta dijangka siap pada tahun 2028.

Untuk makluman Yang Berhormat, ada cadangan supaya kenderaan berat yang sering menggunakan Lebuh raya Pasir Gudang supaya menggunakan Highway Senai-Desaru. Kita amat mengalu-alukan Projek Lebuh Raya Penyambungan Senai-Desaru, laluan ini menghubungkan Senai-Desaru melalui Pasir Gudang dan dijangka membantu mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar. Untuk makluman, kita pun dah menyiapkan antara projek-projek yang dijangka boleh kita naik taraf SDE ini, antaranya ialah Projek Naik Taraf SDE Dari 2 Lorong 2 Hala Kepada 4 Lorong 2 Hala. Jadi ini lebih selesa untuk kenderaan-kenderaan berat yang sering menggunakan Lebuh raya Pasir Gudang, kita cadangkan supaya mereka boleh juga divert ataupun mengurangkan kesesakan di situ dengan melalui jalan di SDE. SDE ini selain projek naik taraf ada juga Projek Pembinaan Directional Ramp Di Persimpangan Senai-Desaru Expressway (SDE) Di Bandar Penawar yang dijangka siap juga pada tahun 2026. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum di jawab secara lisan akan di jawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Persidangan ini saya tangguh sehingga jam 11.15 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11.15 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Buat Kali Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 Tahun 2024.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman pada hari ini kita akan mendengar penggulungan daripada Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa. Masa yang diberikan ialah 20 minit seorang dan saya mohon kerjasama agar semua mematuhi masa yang telah diberikan. Tapi kalau ada Yang Berhormat boleh ringkaskan 15 minit pun boleh ia dan boleh bagi jawapan bertulis kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat perbahasan ini disambung sekarang. Saya jemput Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

(Doa). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya ambil ruang ini sebaik-baiknya 20 minit insya-Allah. Terlebih dahulu marilah kita panjatkan syukur kepada Allah SWT Belanjawan 2025 telah pun dibentangkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya antara yang paling gembira inilah belanjawan yang untuk kali pertamanya nama Majlis Agama Islam Negeri Johor antara yang paling banyak disebut. Bermaksud Majlis Agama Islam Negeri Johor sentiasa menyokong semua peranan fungsi Kerajaan Johor dan menjadi pelengkap dalam semua agenda pembangunan dan juga kebajikan.

Saya merakamkan ucapan selamat dan tahniah ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Hari Keputeraan Baginda 22 November yang lalu. Patik dan orang Semerah seluruhnya berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan keselamatan dan kesihatan serta dilanjutkan usia serta diberikan sebesar-besar keberkatan dan juga kejayaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, marilah kita pergi terus kepada penggulungan saya. Yang pertama, perihal pelan halal. Pelan Halal, Adun Kukup ada menyatakan tentang apakah perancangan kerajaan Johor dalam pembangunan halal.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2023 RM54 billion eksport halal Malaysia keluar. Menjelang 2030 pasaran dunia melonjak USD5 trilion. Maka Johor tak pernah tertinggal Yang Berhormat Datuk Speaker di bawah portfolio saya kita sedang rancangkan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor. Dalam belanjawan Yang Amat Berhormat Menteri Besar umum RM800,00.00 bagi maksud kajian diperuntukkan untuk PIJH. Maka insya-Allah kita akan pekasakan bahagian halal. Tugas yang di bawah halal di bahagian halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor sebagai peneraju. Insya-Allah sekarang ini Yang Berhormat Datuk Speaker, mohon halal dah tak macam dulu. Sekarang ini dapat halal dalam tempoh 14 hari insya-Allah. Sekarang 23 hari Yang Amat Behormat TPM mahu supaya turun kepada 14 hari, Johor akan sambut.

Johor juga telah memperuntukkan RM500,000.00 bagi pembangunan halal cottage. Tahun depan usahawan yang kecil-kecil ini, yang berniaga buat kerepek, buat karipap, dah lama tapi tak ada halal, tapi tahun depan RM500,000.00 diperuntukkan untuk 100 usahawan pertama, ia akan diberikan RM5,000.00 di bawah Program Halal Cottage akan dibina dapur berasingan yang lebih baik, Yang Berhormat Datuk Speaker dan dipermudahkan urusannya dapat halal. Siapa yang dapat halal ini dibawa kepada perkumpulan produk Johor kita dah berunding dengan HDC dan juga pihak kerajaan pusat untuk kita dengan market kita pasarkan barangan orang kampung kita ke peringkat yang lebih tinggi di bawah Halal Cottage, insya-Allah kita laksanakan.

Kemudian YB Kukup juga ada tanya perihal Sekolah Agama Johor tentang isu ADUN tidak dibenarkan masuk Sekolah Agama Johor.Saya ulas sikit Datuk, sebenarnya tidak ada masalah untuk ADUN masuk sekolah agama. Memantau, meninjau sebagai tetamu kehormat dibenarkan. Menyampaikan hadiah, memberi peruntukan tidak ada masalah. Yang kita pantau Yang Berhormat Datuk Speaker, adalah berdasarkan kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri Johor, ada garis panduan dia. YB-YB masuklah asalkan tepat garis panduannya tak ada masalah, dibenarkan. Ini memang ada garis panduan Yang Berhormat Datuk Speaker, rujuk dan patuh.

Tanah waqaf MAIJ, Yang Berhormat Sri Medan ada maklumkan tentang perihalan nak menempatkan kemungkinan penduduk Sri Medan, Parit Sulong yang mungkin terkesan akibat pembinaan tebatan banjir. Jadi beliau mencadangkan agar digunakan tanah-tanah waqaf Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi, saya bersetuju. Tanah waqaf sebahagiannya sekarang masih belum dibangunkan. Tanah waqaf ada satu namanya hujjah waqaf am. Yang ini nak buat balai raya pun tak apa. Nak buat padang pun boleh asalkan untuk am ada fatwa dia. Jadi saya kira cadangan YB Sri Medan tak ada masalah untuk masalah ummah asalkan buat kertas kerja Tok Jun, kita boleh bincang, saya minta wakil Pejabat Daerah Batu Pahat kita uruskan perkara ini panggil mesyuarat, bincang awal-awal.

Sidang Dewan yang dimulia, YB Permanis ada sebut tentang pembayaran elaun imam, bilal yang katanya sebelum ini tertangguh-tangguh, betul, saya mengaku. Saya pun jadi tak selesa, pergi mana masjid, surau, orang mengadu pada kita elaunnya lambat. Tak boleh lambat saya kata, maka Yang Berhormat Datuk Speaker punyalah kita bersungguh buat satu taskforce seluruh negeri kita pusing, imam-imam daerah kita kerahkan penggerak masjid dan surau membantu kita dan sehingga bulan 11 ini saya dapat laporan daripada semua imam daerah seluruh Johor bahawa tauliah-tauliahnya dah meningkat kepada 87 peratus. Orang yang dapat tauliah ini dia akan dapat elaun. Maka kita akan pastikan pembayaran elaunnya disegerakan dan bukan lagi secara 3, 4 bulan bayar sekali. Kita nak bayar setiap bulan. Imam, bilal kita dapat dan layak menerima elaun. Sebab itulah tahun depan YAB Menteri Besar, kita naikkan elaun imam, bilal 100 peratus. Maka tuan-tuan yang bilal surau RM50.00 naik RM100.00, imam surau RM100.00 naik RM200.00, noja masjid

daripada RM80.00 naik RM160.00 100 peratus. Yang Berhormat Datuk Speaker dan jangan lupa mereka ini dilindungi dengan SOCSO. Itu tambahan kebajikan mereka.

Isu Sekolah Agama Kampung Tengah, YB Pemanis pun sebut juga. YB Pemanis saya sedar dan maklum saya pun dah pergi ke sekolahnya. 2022. Sekolah ini memang perlu, cuma Yang Berhormat Datuk Speaker isunya ialah Johor selepas 4 tahun tidak meneruskan agenda pembinaan sekolah agama tahun depan. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri dengan MAIJ, kita kongsi dana Yang Berhormat Datuk Speaker. RM52 juta bagi 3 sekolah baharu dan 2 bangunan baharu di 2 buah sekolah 50 - 50. Kerajaan Negeri 50 peratus, MAIJ 50 peratus. Maka kita dapat buat 5 lokasi. Tapi Yang Berhormat Datuk Speaker saya mengaku YB Pemanis kampungnya perlu dan kita berdoalah sama-sama mudah-mudahan hasil negeri lebih banyak tahun mendatang dan kita pun memang dah tahu dah sekolah mana yang perlu patut diutamakan. Yang Berhormat Datuk Speaker itu pasal Sekolah Agama di Kampung Tengah, Pemanis.

Penggredan guru TAJ, Tadika Agama Johor Pulai Sebatang sebut, usulkan 2 perkara. Pertama penggredan guru TAJ, Yang Berhormat Datuk Speaker saya setuju sangat. Tadika Agama Johor antara yang paling sikit sekarang ini ditubuhkan. Kita hasrat nak tubuhkan lagi banyak dan manfaat kebajikan guru TAJ ini pun kita sedang fikirkan untuk dipertimbangkan. Tapi kami akan berbincang dengan JPA dan SPAJ dan juga Pejabat Tan Sri Dato’ Dr SS untuk kajian perjawatan yang akan dilaksanakan pada Mei tahun depan. Jadi, bagi Pulai Sebatang kita ambil maklum dan Tan Sri SS dah pun setuju untuk kita bincang pada Mei tahun depan perkara-perkara ini.

Jawi, Semarak Jawi Yang Berhormat Datuk Speaker sebab itu kita ada semarak subuh. Johor ini ada Semarak Al-Kahfi, Semarak Selawat Tafrijiah, Semarak Jawi betul pun dah ada. Kita komited memperkasakan jawi sebagai warisan dan Yang Berhormat Datuk Speaker nak bagi tahu jawi bukan cuma warisan dia adalah Peruntukan Perlembagaan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan. Datuk LA boleh sahkan Seksyen 9. Jawi ini selain daripada rumi itu tulisan rasmi bahasa kebangsaan, jawi juga adalah tulisan bahasa kebangsaan. Maksudnya Semarak Jawi ni betullah dan kita pun dah ada program Semarak Jawi di peringkat negeri Johor. Pada tahun ini yang Berhormat Datuk Speaker 2024, peruntukan RM180,000.00 MAIJ sediakan untuk kita bangunkan program ini. Dan kita yakin Yang Berhormat Datuk Speaker tak salah rasanya saya akan berunding dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan juga dapatkan nasihat daripada Tan Sri SS untuk tahun depan agaknya kerajaan boleh isytiharkan pada 1 Jumaat Tan Sri, setiap bulan jadikan minggu jawi Johor. Nanti semua surat-surat ADUN sepatutnya hari Jumaat tersebut semua tulis Jawi. Jangan susah kita bagi aplikasinya. YB Kemelah pun boleh buat juga, jangan risau. Ada aplikasinya. Bayangkan yang bukan Islam pun tulis Jawi. Ini bukan tulisan orang Islam ya, yang bukan Melayu pun boleh tulis. Ini adalah tulisan Jawi, tulisan Jawi adalah tulisan kebangsaan Seksyen 9, Akta Bahasa Kebangsan, rujuk. Terima kasih. Jadi jangan risau.

Speaker

Yang Berhormat.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Ya, Yang Berhormat Datuk.

Speaker

Itulah kelebihan Bahasa Melayu, dia ada dua tulisan, rumi dan jawi. Bahasa lain tak ada 2 tulisan. Bahasa Arab jawi tu jelah, mana dia ada rumi. Bahasa Inggeris rumi tulah, ia tak ada jawi.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Betul tu Yang Berhormat Datuk.

Speaker

Ini kelebihan bahasa Melayu.

Tuan Haji Mohd Fared bin Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Yang Berhormat Datuk kalau saya boleh kongsikan di bawah bahasa kebangsaan nombor bagi bahasa kebangsaan adalah nombor Arab, Yang Berhormat Datuk. Ini bukan ana buat undang-undanglah, ente bukaklah sekarang Akta Kebangsaan. Nombor dalam bahasa Melayu itu nombornya adalah nombor Arab. Boleh rujuk sekarang tak ada masalah. Tuan-tuan, jawi akan perkasakan minggu Jawi Johor kita akan bincang dan insya-Allah dilaksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kursus haji, YB Endau ada sebut tentang perihal tentang ketiadaan kursus haji di Mersing. YB Endau, saya nak bagi tahu Masjid Kg Sri Lalang telah diberi tanggungjawab menjadi untuk buat kursus haji pada tahun ini. Namun begitu, masjid tersebut telah memajukan surat kepada Tabung Haji menarik diri, masjid itu yang tarik diri daripada terlibat untuk kursus haji tahun ini kerana kesuntukan masa untuk mengenal pasti masjid yang baharu, Tabung Haji telah pun bersetuju untuk menganjurkan kursus atas talian. Itulah yang berlaku di Mersing pada tahun ini dan tarikh-tarikh dan senarainya boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI. Tapi insya-Allah YB Endau kita akan bantu supaya tahun-tahun mendatang ia tak akan ada masalah.

Yang kemudiannya, caruman KWSP kepada pegawai masjid, YB Tenang bertanya. YB Tenang saya nk bagitahu alhamdulillah cadangan yang baik tapi sementara ini bila kita dah naikkan elaun dan dah tahu ini pun sebenarnya pegawai masjid kita dicarum dengan PERKESO. Maksudnya, imam, bilal kita dijaga dengan baik insya-Allah sekiranya ada kecederaan, kemalangan mereka dilindungi oleh PERKESO. Cadangan untuk EPF sangat baik, kita akan perhalusi.

Geran Bantuan Khas Pembangunan Masjid Surau juga ditanya oleh YB Tenang dan juga Bukit Naning tentang keuzuran masjid, surau. Yang Berhormat Datuk Speaker, marilah kita sama-sama menyumbang kepada tabung pembangunan masjid surau dan amal jariah negeri Johor. Inilah antara tabung yang boleh membantu kita supaya kita boleh segera mengenal pasti masjid-masjid dan juga kita segerakan bantuan baik pulih. Saya juga 12.12 ini akan terima maklumat lengkap kerosakan seluruh masjid negeri Johor dan usaha kita membaik pulihnya akan segera dilakukan, insya-Allah.

Pembangunan masjid baharu di Bandar Putra Indah YB Parit Yaani tanya. Yang Berhormat Datuk Speaker sebenarnya kita baharu sahaja dapat surat kelulusan daripada MAIJ tentang masjid ini dan insha-Allah ianya akan disegerakan, permit tabungannya juga telah diluluskan. Tahniah YB Parit Yaani atas keprihatinan.

YB Senggarang mengutarakan tujuh usul dalam sesi perbahasan beliau. Strategi Pendidikan Halal, saya sebut YB Yusla, YB Senggarang, pendidikan halal di sekolah agama kita yakin ianya bagus dan kita mahu ianya diselangi dengan silibus yang rasmi adakan kempen, adakan juga kesedaran, pameran di peringkat sekolah supaya anak-anak kita segera dapat pendidikan halal secara tak rasmi, insya-Allah.

Peningkatan Kompetensi Guru Agama pun YB Senggarang tanya. Yang Berhormat Datuk Speaker, guru-guru sekolah agama tahun ini adalah peruntukan RM1 juta untuk guru-guru kita termasuk anak-anak kita melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Doktor Falsafah di mana guru-guru sekolah agama pun boleh mohon. Bagi Senggarang kita bagitahu kepada semua guru-guru kita ini antara bantuan sokongan kepada mereka, mereka boleh lanjutkan pelajaran dengan pembiayaan daripada MAIJ.

Ketiga, Pembelajaran Abad Ke-21 turut dibangunkan dan insya-Allah semuanya akan diberikan keutamaan kepada peningkatan guru-guru sekolah agama kita. Kita juga memberikan pengiktirafan kepada guru-guru yang cemerlang. Kemudian, kita juga ada menghantar guru-guru kita untuk latihan, seminar dan bengkel bagi memastikan kompetensi mereka sentiasa terpelihara.

Seterusnya, YB Senggarang juga tanya tentang penghayatan ASWAJA, Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Ashairah, al-Maturidiyah. Buktinya, MAIJ memperuntukkan RM14 juta Datuk Speaker untuk tahun depan. Penubuhan Pusat Latihan ASWAJA di Mukim Pulai, Johor Bahru. Pusat ini akan menjadi pusat penempatan dan perbengkelan pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah, memberikan kursus dan latihan kepada semua guru-guru agama, guru-guru takmir serta terbuka kepada belia-belia Johor untuk mengadakan kursus, seminar di Pusat Latihan ASWAJA ini, insya-Allah. Sumbangan Kerajaan Negeri kepada KUIJSI YB Senggarang banyak betul pertanyaannya ni saya jawab juga. KUIJSI, Kerajaan Johor untuk proses naik taraf ini daripada kolej kepada kolej universiti YB Senggarang, Kerajaan Johor telah pun menyumbangkan RM15 juta dan itulah kesungguhan kerajaan dan sekarang ini KUIJSI berlangsung dengan baik, Alhamdulillah.

Kenaikan pangkat guru Sekolah Agama Kerajaan Johor. YB Senggarang mencadangkan supaya ditambah baik. Saya sebut Kerajaan Negeri menyambut cadangan YB Senggarang itu dengan menambah gred DG38 daripada satu kepada lima waran. Kajian perjawatan ini juga memerlukan perhatian yang menyeluruh memandangkan dasar sedia ada JPA adalah tidak menambah waran baru sehingga menjadi tukar ganti trade-off kepada perjawatan sedia ada, tetapi kita yakin dan kita percaya ini dapat diusahakan. Antara kaedah kenaikan pangkat tahun ini Datuk Speaker, 631 peluang pekerjaan guru agama dibuka tahun ini. Tahun depan kerajaan bersetuju untuk tambahan 300 perjawatan guru agama. Pembinaan Masjid Raudhatul Jannah Senggarang, Alhamdulillah Datuk Speaker, masjid ini siapa pun nak bina masjid dan surau mohon melalui Pejabat Kadi Daerah, dia punya proses, prosedur kita akan bantu, insya-Allah.

Selanjutnya baik pulih di sekolah agama di kawasan FELDA. YB ADUN Penawar tanya, YB saya boleh sahkan SAKJ yang berada di FELDA sentiasa menjadi keutamaan kita walaupun ianya masih di bawah tanah FELDA. Tetapi, insya-Allah kita tidak menganak tirikannya di bawah Tabung Lembaga Amanah Wang Orang Islam. Ianya boleh diperuntukkan dan insya-Allah, kita akan semak dan pastikan semua sekolah agama mendapat bahagian dan peruntukan yang adil. Semarak Subuh, YB Maharani telah pun kita jawab semasa Sidang Dewan bahawa kita mesti memperkasakannya dan kita juga percaya tahun depan dua kali akan lebih baik pelaksanaannya. Elaun guru Quran untuk makluman Yang Berhormat Maharani, sebenarnya elaun guru Quran kita dah naikkan tahun lepas, RM300.00 jadi RM350.00, itu guru Quran Am. Guru Quran Khas daripada RM350.00 kepada RM400.00. Di bawah saya kali ini Alhamdulillah, setiap segmen saya dah naikkan cuma ada lagi yang belum dinaikkan. Antaranya yang telah pun dinaikkan adalah guru Quran kita, saya kira ini akan membantu dan MAIJ juga sentiasa berikan peluang untuk guru-guru Al-Quran menganjurkan kursus-kursus bagi memantapkan pendidikan Al-Quran kita, insya-Allah. Madrasah Abbasiyah, YB Maharani pun ada tanya. Untuk makluman YB, penyaluran peruntukan baik pulih kepada sekolah-sekolah ini boleh dimohon melalui jabatan dan jabatan jika peruntukan negeri terkekang, kita akan mohon melalui JAKIM.

Mewujudkan jawatan Pentadbir Dan Pengawal Keselamatan Di Sekolah Gred C, YB Tiram bertanya. Betul keperluan keselamatan penting Datuk Speaker, tapi saya boleh sahkan ketika ini tidak semua sekolah agama mempunyai Pengawal Keselamatan. Buat ketika ini, untuk Sekolah Agama Gred C masih belum boleh, tetapi saya kira kita akan teliti dengan baik dan tambah peruntukan pada tahun mendatang untuk kita laksanakan keperluan keselamatan di sekolah-sekolah agama.

YB Tiram juga ada sebut ketiadaan Pembantu Tadbir Sekolah Gred C menganggu pentadbiran. Datuk Speaker, saya telah mengusulkan dengan Kerajaan Johor, Sekolah Agama Gred C memang tidak ada kerani tuan-tuan, tidak ada kerani tetapi kita sekarang telah mula menggilirkan kerani di sekolah Gred A dan Gred B, mereka akan digilirkan ke Sekolah Agama Gred C secara berjadual untuk mereka membantu proses pentadbiran di Sekolah Agama Gred C. Program Solidariti Palestin Datuk Speaker saya nak bagi tahu, terima kasih kepada YB yang bertanya, kita nak bagi tahu Johor prihatin kepada rakyat

Palestin. RM2.5 juta kita perolehi melalui Tabung Kasih Bangsa Johor untuk rakyat Palestin dan kita telah pun membuat penghantaran RM400,000.00 kepada Kem Pelarian di Gaza dan 15,000 orang telah dapat manfaat dengan makanan masak panas di sana tapi Datuk Speaker, kita dimaklumkan kem yang rakyat Johor bagi makan dekat RM500,000.00 itu telah pun dihalau oleh Zionis laknatullah. Maka sekarang ini kita sedang kolaborasi dengan pihak kedutaan, dengan pihak MAHAR, NGO yang berada di Palestin untuk kita allocate balik di manakah kem terbaharu dan kita masih ada lagi bantuan Bakul Kotak Makanan yang akan dihantar melalui kapal Datuk Speaker dan kita juga akan membuat penghantaran melalui sempadan Jordan. Kan ada diberitahu sempadan Jordan lebih selamat berbanding sempadan Mesir ketika ini.

Terima kasih Datuk Speaker, saya mengakhiri saya punya penggulungan, mudah-mudahan menjawab. Sebagai ulasannya, dua minit terakhir Datuk Speaker, ulasan Belanjawan bagi pihak saya. Datuk Speaker, 2025 saya kira tahun yang sangat menarik. MAIJ khususnya dan keempat-empat yang lain, lima portfolio saya akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Johor untuk terus memperkasakan Agenda Maju Johor. Semua peruntukan dinaikkan. Saya gembira sekolah agama ada pembinaan baharu, saya gembira guru-guru KAFA terus diberikan bantuan kewangan, terus diberikan KWSP dan juga SOCSO nya. Saya gembira elaun imam, bilal dinaikkan. Menjadikan mereka antara orang yang wajib kita hormati dan terus kita sayangi dan akhirnya kepada semua, yakinlah kepada kerajaan ini. Teruslah memberi idea dan juga teguran, namun sokong dan terus bersama dengan kerajaan Maju Johor. Insya-Allah, kita akan capai hasrat kita Maju Johor 2030. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Speaker

Tahniah Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati seramai 26 orang daripada DUN Kawasan Larkin iaitu atas jemputan Yang Berhormat Pengerusi Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor dan juga 28 orang pemerhati yang terdiri daripada Revolusi Penggerak Mahasiswa UTM, guru-guru sekolah daripada DUN Kawasan Tanjung Surat iaitu di bawa oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirrahmanirrahim, mudik ke tenong mencari tinta, singgah di kuala sambil berangan, Assalamualaikum pembuka kata, Larkin sembah ucapan penggulungan. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bicara saya merakamkan rasa setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberikan kesempatan dan dipanjangkan umur saya bersama rakan-rakan EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor yang lain bagi menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini bagi Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2025 Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Patik juga ingin merafakkan sembah ketinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena sambutan hari keputeraan Seri Paduka Baginda pada 22 November yang lalu. Patik juga mewakili seluruh rakyat di DUN Larkin sentiasa mendoakan Kebawah Duli Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta seluruh kerabat DiRaja dilimpahi rahmat dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan untuk terus menaungi negara Malaysia. Patik juga mewakili rakyat DUN Larkin juga mendoakan Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor serta putera dan puteri turut dilimpahi rahmat dan kurnianya, keafiatan untuk terus menaungi negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil kesempatan dalam sesi penggulungan ini untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi di atas pengumuman Belanjawan Johor 2025 yang mencatatkan sejarah tersendiri iaitu RM1.99 bilion yang tertinggi dalam sejarah Johor, tahniah. Alhamdulillah, di bawah Portfolio Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi secara keseluruhan menerima lebih daripada RM31 juta di bawah Portfolio Belia dan Sukan, Usahawan dan Koperasi. Insya-Allah, berbekalkan peruntukan yang diamanahkan ini, saya bersama ketua-ketua jabatan, agensi di bawah portfolio saya akan terus mengatur gerak kerja dan akan melaksanakan program serta inisiatf yang digariskan seawal Februari tahun hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi persidangan kali ini, saya mengikuti setiap perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terdapat juga pelbagai maklum balas yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahupun teguran yang dilontarkan oleh pihak pengimbang mahupun pihak rakan-rakan saya di pihak kerajaan dan semuanya saya telah ambil maklum. Selain itu, saya juga telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan dan setiap maklum balas yang diberikan, saya menerima dengan berlapang dada. Dan suka saya menjawab soalan-soalan berbangkit ini pada sesi pengulungan pagi ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab soalan berbangkit Yang Berhormat Kukup dalam pembahasannya pada Ahad lalu yang menyentuh Teras Enam Orang Muda Johor yang bertanyakan adakah Program Dewan Muda Johor akan diteruskan atau sebaliknya? Berikutan tiada peruntukan diumumkan kepada Dewan Muda Johor dalam Pembentangan Belanjawan Johor 2025 Khamis yang lalu. Untuk makluman Yang Berhormat, pada tahun ini seramai 613 orang telah memohon untuk menjadi Ahli Dewan Muda Johor. Hasil daripada sesi jelajah temuduga, diempat daerah iaitu Johor Bahru, Kluang, Muar dan Kota Tinggi seramai 114 orang terpilih untuk menjadi Ahli Dewan Muda Johor Sesi 24/25.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selaku EXCO yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal belia, saya memberi jaminan kepada Yang Berhormat Kukup bahawa Program Dewan Muda Johor akan diteruskan pada tahun hadapan.(Dewan bertepuk). Meskipun tidak dinyatakan atau diumumkan secara khusus dalam Belanjawan 2025, namun ia bukan satu penghalang untuk sesuatu program itu dihentikan atau tidak dilaksanakan. Apatah lagi dengan berkat ataupun bakat dan aset berharga daripada 114 Ahli Dewan Muda Johor ini sayang sekali jika disia-siakan.

Untuk makluman peruntukan masih ada Yang Berhormat. Dalam konteks Dewan Muda Johor ini di peringkat agensi iaitu Institut Dato’ Onn (IDO) dan Sekretariat Dewan Muda Johor boleh kemukakan kertas cadangan program yang bermanfaat dan memberi impak. Kemudian tiada halangan untuk saya mengangkat di peringkat Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup juga ada memberikan cadangan untuk Ahli Dewan Muda Johor ini melaksanakan latihan industri atau internship dengan izin, kepada semua ADUN yang boleh membantu melaksanakan kajian bagi tujuan Persidangan Dewan Undangan Negeri. Cadangan ini turut disokong oleh Yang Berhormat Tiram dalam perbahasannya semalam. Keduanya, Yang Berhormat Kukup juga ada menyatakan cadangan untuk Ahli Dewan Muda Johor diberikan peluang berbahas bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa. Misalnya, bersama belia dari Singapura dan Indonesia. Terima kasih Yang Berhormat Kukup atas cadangan yang baik. Bagi cadangan untuk Ahli Dewan Muda Johor ini melaksanakan latihan industri di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri, saya amat menyambut baik cadangan Yang Berhormat Kukup dan akan meminta Sekretariat Dewan Muda Johor bersama IDO meneliti perkara ini bagi pelaksanaan untuk sesi yang akan datang. Berhubung cadangan pendedahan dan peluang untuk Ahli Dewan Muda berbahas di peringkat antarabangsa, kebetulan di dalam

ucapan perasmian saya bagi Persidangan Dewan Muda Johor pada 5 November yang lalu, saya menekankan dan meminta untuk Ahli Dewan Muda Johor ini untuk lebih terbuka bukan hanya berdebat atau berbahas semasa sendiri malah pada masa yang sama menjalinkan kerjasama strategik bersama belia di rantau asia tenggara bersidang dan berkongsi serta bertukar idea dan memajukan negeri Johor. Insya-Allah Yang Berhormat Kukup, saya yakin sekretariat Dewan Muda Johor dan IDO sedang merencanakan perkara ini dan direalisasikan. Insya-Allah juga, saya juga berpesan kepada Ahli-Ahli Dewan Muda jangan sibuk pakai blazer tapi turun padang tak nak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir dalam perbahasannya kelmarin ada bertanyakan mengenai pembinaan mini stadium atau kompleks sukan di Parit Jarum Tengah, di mana kelulusan untuk pembinaan padang awam ini telah pun diberikan kepada kerajaan yang lepas, 2017, bernilai RM1 juta. Berikut saya kongsikan serba sedikit latar belakang kronologi bagi pembangunan padang bola ini. Permohonan bagi pembinaan padang bola ini adalah permohonan terus oleh penduduk setempat ketika lawatan Yang Amat Berhormat Berhormat Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, ke DUN Gambir pada 6 Februari 2017. Peruntukan telah diluluskan sebagaimana surat ruj. MBJ0701100 Jld.2 bertarikh 5 Jun 2018 berjumlah RM1 juta. Dan, pihak Majlis Daerah Tangkak telah diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana.

Namun demikian, Majlis Daerah Tangkak telah menerima surat pada tarikh 27 Jun 2018 merujuk kepada surat MBJ0701 bagi tujuan membatalkan pelaksanaan projek pembinaan padang bola di Kampung Parit Jarum, Tangkak. Pihak pejabat saya telah berhubung dengan Majlis Daerah Tangkak dan berpandangan bagi tujuan untuk meneruskan pembangunan pembinaan padang bola serta kerja-kerja berkaitan memerlukan peruntukan yang lebih daripada peruntukan asal dijangka kos penambahan sebanyak 30 peratus kenaikan kos asal pembangunan. Insya-Allah Yang Berhormat Gambir, saya sendiri akan turun ke Kampung Parit Jarum dengan bersama Yang Berhormat nanti, kita meninjau bersama sendiri dan saya akan maklumkan isu ini dan akan saya serahkan seluruh maklumat kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk kelulusan peruntukan nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kahang juga ada membangkitkan mengenai seorang pelajar berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kahang bernama Kasih Raudhah binti Mohd Shah. Nama macam bapa saya. Adik Kasih Raudhah juga seorang pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran tetapi cemerlang sebagai seorang atlet olahraga. Dalam kejohanan olahraga pendidikan khas MSSJ 2024 di UTM, Skudai. Adik Kasih Raudhah memenangi 4 emas iaitu dalam acara 1500 meter, 800 meter, 400 meter dan 4 x 100 meter.

Menjawab persoalan dibangkitkan oleh kerajaan Johor menyokong penglibatan orang kurang upaya (OKU) dalam sukan berprestasi tinggi. Malah pada tahun ini juga julung kalinya Kerajaan Johor menyediakan tambahan peruntukan bagi menyokong program latihan pusat atlet para SUKMA sejumlah RM300,000.00 yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

Berkenaan dengan atlet OKU yang cemerlang ini, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor selaku focal point dalam pembangunan dalam sukan dan atlet OKU Negeri Johor berjaya mencungkil bakat 3 orang atlet OKU yang telah berprestasi yang cemerlang dan mewakili negara ke persada sukan tinggi iaitu di paralimpik Paris, baru-baru ini. Program yang sama juga akan di berikan kepada adik Kasih Raudhah melalui pendedahan awal di circuit-circuit kebangsaan dan program bakat di bawah anjuran Majlis Sukan Negara.

Berdasarkan prestasi semasa, adik Kasih Raudhah berpotensi jauh untuk menyertai program pelapis negara dan secara tidak langsung menjadikan sukan sebagai kerjaya serta elaun akan dibayar mengikut penglibatan beliau di peringkat antarabangsa. Sebagai anak muda yang berpotensi tinggi, adik Kasih Raudhah boleh menjadi prospek yang baik dalam sukan olahraga dengan latihan dan program yang tersusun. Insya-Allah beliau juga mampu

berjaya seperti Datuk Latif Romly, atlet para lompat jauh, Bonnie para powerlifting, Cheah Liek Hou, para badminton dan lain-lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pasir Raja, Yang Berhormat Johor Lama dan juga Yang Berhormat Bekok dalam perbahasan kelmarin membangkitkan isu dan keperluan yang sama iaitu pembinaan sebuah trek olahraga mini stadium. Di kawasan masing-masing saya mengambil maklum keadaan di bandar Kota Tinggi yang memiliki 12 buah sekolah menengah dan 29 sekolah rendah namun tidak memiliki sebarang kemudahan trek olahraga snaptik. Malah Yang Berhormat Johor Lama juga menyatakan kebanyakan pelajar di Kota Tinggi perlu ke Bandar Penawar sejauh 48 kilometer untuk ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail bagi menggunakan pakai trek olahraga untuk tujuan atlet di latihan.

Pagi ini juga, saya dimaklumkan oleh Majlis Daerah Kota Tinggi memang tiada kemudahan trek olahraga itu sintetik di bawah selenggaraan Majlis Daerah Kota Tinggi dan kemudahan ini hanya di Stadium Bandar Tenggara di bawah kelolaan KEJORA dan juga Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar. Saya selaku EXCO yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal sukan mengambil serius soal ini. Apatah lagi ia sedikit sebanyak melibatkan soal penyediaan anak-anak dan pelajar sekolah terhadap kemudahan sukan yang lengkap dan selesa.

Saya mengambil kira cadangan Yang Berhormat Pasir Raja mengenai pembinaan trek olahraga di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab dan akan berbincang dengan Yang Berhormat EXCO Pendidikan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Pejabat Daerah mengenai perkara yang dibangkitkan.

Buat Yang Berhormat Bekok, saya akan meminta bahagian Sukan, Belia dan Sukarelawan untuk mengadakan perbincangan awal bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor dan juga Majlis Daerah Labis mengenal pasti lokasi yang sesuai yang bagi dicadangkan sebagai pembinaan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre atau pun TMIYC, Segamat. Ini membolehkan pembangunan dibuat bukan semata-mata padang bola sahaja, tetapi pusat rekreasi bersepadu yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Parit Yaani juga ada membangkitkan dan memberi beberapa cadangan berkenaan dengan penambahbaikan gerakan southern volunteers, atau lebih mudah SV. Antara yang dicadangkan adalah mewujudkan SV atau melantik penggerak di kawasan Dewan Undangan Negeri, penubuhan Yayasan Southern Volunteers dan juga kerjasama SV bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM). Terima kasih Yang Berhormat Parit Yaani atas keprihatinan dan juga mengambil berat soal SV yang merupakan identiti kepada sukarelawan di negeri Johor.

Untuk makluman Yang Berhormat Parit Yaani dan semua Ahli Dewan yang mulia, dengan southern volunteers kini mempunyai 6 kluster. Iaitu, SV Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, SV Skuda Muda Sekolah, SV Pihak Berkuasa Tempatan, SV Agensi Kerajaan, SV Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung dan juga SV Umum.

Saya mengambil maklum cadangan Yang Berhormat Parit Yaani dan akan meminta Bahagian Setiausaha Kerajaan Negeri, Bahagian Belia dan Sukarelawan untuk menilai serta mengkaji untuk mewujudkan dan menyelaraskan southern volunteers di setiap DUN termasuk mengambil kira beberapa implikasi dalam memastikan pelaksanaan dapat diselaraskan di semua 56 DUN seluruh negeri Johor. Sekiranya ada keperluan bersesuaian insya-Allah Kerajaan Negeri akan menggunakan penggerak SV pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, kita tertakluk semua sedia maklum SV ini dinaungi di bawah, Kebawah Duli, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota, Pemangku Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan SV kerjasama dengan APM. Southern Volunteers sememangnya telah bekerjasama bersama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Johor malah SV juga telah diiktiraf oleh APM dan mempunyai Sijil Civil Defense Members (CDA). Dan Insya-Allah untuk makluman Parit Yaani, kita akan lebih kerap bersama untuk memberikan pandangan dan cadangan dan banyak juga cadangan-cadangan daripada Parit Yaani untuk diteliti secara detail.

Yang Berhormat Tangkak juga ada menyentuh mengenai sokongan tambahan diperlukan kepada usahawan tempatan iaitu dana mikro atau skim pembiayaan produk pelancongan seperti kraf tangan dan makanan tradisional di Johor. Untuk makluman Tangkak, institusi kewangan pembangunan dan agensi kerajaan memainkan peranan yang besar di peringkat perniagaan usahawan. Umpamanya hampir 40 tahun, Bank Pembangunan merupakan institusi pertama yang menyediakan pinjaman membantukan perusahaan Ramly Burger. Sehinggakan mencapai satu kejayaan membina kilang melalui kemudahan pembiayaan skim transformasi digitalized industri. Dan di BSN juga menyediakan pinjaman mikro untuk para peniagaan kecil seperti Ramly Burger.

Untuk makluman Yang Berhormat, sebanyak RM40 bilion disediakan Kerajaan Persekutuan sebagai kemudahan pinjaman PMKS. Antaranya yang boleh saya tekankan di dalam Dewan yang mulia ini, pinjaman bersaiz mikro sehingga RM3.2 bilion antaranya yang diedarkan oleh TEKUN, BSN bagi membantu penjaja termasuk komuniti, OKU, masyarakat cina, india dan bumiputera terutamanya.

Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan dana pembiayaan RM6.4 bilion menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digital excessy, pelancongan, logistik dan pengangkutan serta tenaga boleh baru dan peralihan. Syarikat jaminan pembiayaan perniagaan berhad juga, menjamin PKS mendapat peruntukan melalui pembiayaan sebanyak RM20 bilion termasuk jaminan RM5 bilion khas untuk PKS bumiputera.

Selain itu juga, Skim Pembiayaan Usahawan Kraf oleh TEKUN Nasional melalui Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, usahawan kraf tempatan boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM100,000.00 dengan kadar keuntungan hanya 2 peratus setahun dengan tempoh pembayaran fleksibel sehingga 10 tahun. Dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor baru-baru ini juga, saya meminta dan menekankan semua agensi persekutuan yang menjadi ahli MPUNJ untuk bergerak secara aktif menjelang tahun 2025 membawa peruntukan-peruntukan ini turun ke Johor insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, suka juga saya ingin berkongsikan tetapi masa tidak begitu mencemburui kita, saya memberi jawapan bertulis kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya saya tidak dapat menjawab pada sesi kali ini dan insya-Allah sebagai penutup, Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulan kepada jawapan dan cadangan yang diberikan telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada sesi sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Akhir sekali, selaku EXCO yang menjaga Hal Ehwal Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas, semua jabatan-jabatan dan pasukan yang berada di bawah portfolio saya untuk sepanjang 2024 ini. Insya-Allah, fokus kita selepas ini untuk tahun 2025.

Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, saya telah cuba yang terbaik untuk memberikan semua jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimana pun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang, tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan di bawah portfolio saya. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambah baikkan. Tenang-tenang air di kali, tempat

mandian putera puteri; sempurna sudah penggulungan ini, salah dan silap harap dimaafi. Dari Kedah ke Pekan Sari, beli suasa di Kota Tinggi; selesai sudah ucapan diberi, tahun hadapan kita jumpa lagi. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat. Saya jemput, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu patik serta warga DUN Paloh merafak sembah menjunjung kasih dan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sempena ulangtahun keputeraan Baginda pada tanggal 22 November lalu. Semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan afiat dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan. Daulat Tuanku. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas nasihat dan bimbingan yang dicurah kepada kepimpinan negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap kali Dewan Negeri bersidang kita membincangkan inisiatif, polisi atau gerak kerja yang mencorakkan masa depan negeri Johor supaya negeri ini terus maju ke hadapan dengan rancangan pembangunan inklusif dan holistik. Ribuan terima kasih dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi soal jawab mahu pun sesi perbahasan berkaitan Jawatankuasa Pelaburan, Hal Ehwal Pengguna, Perdagangan dan juga Sumber Manusia negeri Johor.

Saya mulakan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dibahaskan oleh ramai Ahli Dewan negeri dalam sidang kali ini lebih bersifat kepada isu-isu dasar. Idea punubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dicetuskan bermula dengan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) ke-16 pada Julai 2023 dan diumumkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke Singapura pada Oktober 2023 serta disusuli dengan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 11 Januari 2024. Perjanjian kerjasama rasmi dengan pihak Singapura bakal ditandatangani pada awal bulan depan. Pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar perunding, penerangan dengan Ahli-Ahli Dewan Negeri serta perbincangan antara pegawai kedua-dua negara telah diadakan dalam masa yang singkat ini.

Johor dan Singapura mempunyai banyak kesalinghubungan dan kekuatan pelengkap atau pun complementary strengths, dengan izin. Hakikatnya, pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan di antara Johor dan Singapura akan terus berkembang. Zon ini direka untuk memanfaatkan lagi lokasi Johor sebagai hab serantau, dengan fokus kepada sektor teknologi tinggi, sama ada di dalam 10 sektor yang ingin digalakkan. Antaranya pembuatan, ekonomi digital, kewangan, logistik, pelancongan, perubatan, pendidikan, tenaga, perkhidmatan perniagaan, dan makanan. Perkara utama yang ditekankan adalah ease of doing business dan ease of movement bagi memudahkan urusan perniagaan dan pergerakan antara kedua-dua negara. Antara langkah yang diambil termasuk pengenalan Johor Super Lane dalam Belanjawan 2025 yang akan menyeragamkan proses dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan selaras dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas ini.

Pusat sehenti bagi hal ehwal berkaitan pelaburan, iaitu Invest Malaysia Facilitation Centre Johor serta pelaksanaan sistem kod QR bagi melancarkan pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu sempadan darat negara di Johor sedang diusahakan. Kami juga di dalam proses terakhir untuk menentukan pakej insentif khas Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,

sama ada bersifat fiskal atau bukan fiskal. Peningkatakan kemudahan infrastruktur di kawasan terlibat serta penyediaan program latihan untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang bersedia untuk menghadapi permintaan industri masa depan. Penubuhan Zon Ekonomi Khas ini bukan memfokuskan kepada sektor pelaburan sahaja tetapi juga peningkatan daya saing Johor secara keseluruhan.

Oleh itu, selain penubuhan IMFCJ, Invest Johor, selaku agensi Kerajaan Negeri dalam hal ehwal pembangunan sektor pelaburan dan perkhidmatan, akan diperkasakan dan dikorporatkan pada tahun depan seperti mana Tourism Johor, supaya agensi ini dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada prospek dan pelabur sedia ada. Kami sedia maklum juga ada pemerhatian bahawa wujudnya pendekatan untuk menarik pelaburan masuk semata-mata untuk memperolehi nilai pelaburan yang tinggi sahaja. Dalam hal ini, izinkan saya menerangkan bahawa agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Invest Johor, MIDA dan lain-lain sentiasa mengambil pendekatan yang komprehensif dalam meluluskan sesuatu pelaburan.

Penilaian terperinci akan dibuat mengenai latar belakang setiap pelaburan. Antara kriteria utama penilaian tersebut adalah tawaran kepakaran serta teknologi selain jumlah tawaran atau peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan daripada projek tersebut bagi memanfaatkan negeri Johor. Pihak Berkuasa Tempatan juga mempertimbangkan isu keperluan utiliti sebelum meluluskan sesuatu permohonan supaya ia tidak menjejaskan kawasan berhampiran.

Fokus turut akan diberikan kepada pembangunan rantaian bekalan tempatan melalui usaha pemadanan syarikat tempatan dan pelabur asing supaya pelaburan yang masuk betul-betul memanfaatkan Johor. Pemindahan teknologi melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan juga akan diusahakan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan satu kuliah dan perbincangan pada 1 Disember 2024 iaitu pada Ahad akan datang nak menjemput Profesor Keun Lee daripada Seoul National University yang telah membuat kajian mengenai pembangunan Malaysia serta cadangan bernas berkaitan usaha pembinaan rantaian bekalan tempatan dan pemindahan teknologi apabila FDI masuk. Ahli-Ahli Dewan Negeri adalah dijemput hadir bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker untuk jangka masa panjang, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan memfokuskan kepada pembangunan sektor-sektor yang masa hadapan atau forward-looking industries yang sejajar dengan tren global dan keperluan masa depan. Industri seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, bioteknologi, serta teknologi tenaga hijau dan boleh diperbaharui di jangka menjadi pemacu utama ekonomi dalam dekad yang akan datang supaya zon ini kekal relevan dan menjadi pusat inovasi yang menarik. Untuk memastikan teknologi baharu dapat diuji dan diadaptasi dengan cepat, cadangan mewujudkan kotak pasir kawal selia atau pun regulatory sandbox di zon ini juga sedang dicadangkan, seperti mana yang dilaksanakan di negara Singapura dan juga di Shenzhen. Ini adalah platform yang membolehkan syarikat teknologi dan pelabur menguji penyelesaian baharu dalam persekitaran terkawal, sebelum pelaksanaan berskala besar, berinteraksi dengan pengawal selia dan pembuat dasar secara langsung untuk membangunkan rangka peraturan yang fleksibel dan relevan serta menyokong pembangunan teknologi baharu tanpa halangan peraturan yang rumit pada peringkat awal. Pendekatan jangka masa panjang untuk memfokuskan kepada industri masa depan dan pelaksanaan kotak pasir kawal selia adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Johor dan juga Kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Johor terus berkembang dan bukan sahaja menarik pelaburan berkualiti tinggi tetapi juga mencipta peluang yang mampan untuk rakyat negeri Johor. Inilah visi yang kita bawa untuk Johor sebuah negeri yang memimpin perubahan dan inovasi untuk masa depan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, khususnya berkenaan pembangunan sektor pusat data yang pesat di Johor, beberapa Ahli Dewan Negeri telah membahaskan perkara berkaitan dan memberikan pandangan yang cukup bernas. Kemasukan pelaburan pusat data berskala besar di Johor telah mewujudkan peluang dan juga cabaran kepada Johor khususnya dari aspek infrastruktur tenaga, bekalan air dan kelestarian. Izinkan saya memetik satu perenggan dari W Media, iaitu sebuah media di rantau Asia Pasifik yang yang fokus kepada pembangunan pusat data dalam bahasa asalnya, Bahasa Inggeris: “It is difficult to believe that Johor’s data centre capacity was just 10MW at the start of 2021. By 2024, this capacity has surged to over 1,500MW. The meteoric rise is unprecedented, marking a once-in-a-generation leap for the state of four million inhabitants. Malaysia, khususnya Johor berjaya merebut peluang ini kerana kita telah bersiap siaga. Di peringkat kebangsaaan, pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah bekerja keras untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pusat data melalui inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) yang kini dikenali sebagai Malaysia Digital. Di peringkat Kerajaan Negeri Johor pula, melalui Johor Corporation dan kerjasama TNB serta RSAJ, infrastruktur asas telah disediakan di kawasan Sedenak sebelum pelabur masuk lagi. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa melalui perancangan yang rapi, trend ini boleh meletakkan Johor sebagai hab digital utama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Asia Pasifik, membuka laluan untuk fasa pertumbuhan digital seterusnya. Johor juga bakal membangunkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan pusat data, daripada pemasangan dan pembungkusan peralatan elektronik kepada pembuatan komponen pusat data dan juga pembangunan bakat untuk memastikan pembangunan sektor pusat data yang lestari dan berterusan.

Terdapat juga manfaat tambahan dari segi pembangunan sektor pusat data ini di mana sektor tenaga boleh diperbaharui boleh dibangunkan untuk memenuhi komitmen sifar karbon bersih pusat data selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional. Oleh itu, dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Johor (PlanMalaysia Johor), Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor telah disediakan dan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor pada April 2024 sebagai panduan dan rujukan yang seragam kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi terlibat.

Negeri Johor merupakan antara negeri yang terawal merangka peraturan berkaitan pembangunan pusat data. Aspek kemampanan atau sustainability dalam pembangunan pusat data termasuk penggunaan air melalui pengiraan Water Usage Efficiency (WUE), tenaga elektrik, pengawalan pelepasan karbon merupakan perkara-perkara yang diutamakan dalam garis panduan terebut. Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor turut bersidang secara berkala untuk memberi nasihat mengenai hal berkaitan pembangunan pusat data sebelum permohonan dipertimbangkan oleh Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan dan membuat pengesyoran bagi pembangunan pusat data di bangunan sedia ada atau pun di tanah kosong. Ahli jawatankuasa JPPDNJ terdiri daripada agensi negeri dan persekutuan termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Invest Johor, MIDA, MDEC, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Tenaga Nasional Berhad, RSAJ, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar serta Plan Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat.

Permohonan akan ditolak sekiranya lokasi yang dipilih tidak mempunyai prasarana utiliti yang mencukupi, atau yang berisiko memberi tekanan ke atas bekalan air atau elektrik kepada masyarakat setempat. Sepertimana yang dilaporkan oleh media, Kerajaan Negeri Johor telah menolak hampir 30 peratus permohonan pusat data selama lima bulan ini. Jawatankuasa ini untuk melindungi sumber alam semula jadi di Johor. Terima kasih kepada YB Perling selaku Timbalan Menteri MITI yang menyatakan persetujuan beliau dengan tindakan Kerajaan Negeri dalam ucapan perbahasan. Jawatankuasa juga berbincang dengan prospek pelabur mengenai jumlah pekerjaan yang dapat ditawarkan serta usaha-usaha kerjasama membangunkan bakat tempatan. Dengan sokongan semua pihak, transformasi Johor menjadi kuasa besar dalam sektor pusat data boleh membawa era

pertumbuhan ekonomi baharu, bukan sahaja untuk Johor tetapi untuk Malaysia secara keseluruhan, mengangkat negara ke barisan hadapan ekonomi digital global.

Yang Berhormat Datuk Speaker, potensi sektor penganjuran acara berteraskan MICE, meetings, incentives, conferences, and exhibitions dapat memberi limpahan ekonomi yang besar. Kerajaan Negeri amat peka dengan perkara ini dan terus mengambil tindakan proaktif bagi meneroka segala peluang bagi menarik pelaburan dan seterusnya meraih manfaat daripada penganjuran acara-acara perniagaan logo yang diadakan. Susulan kejayaan penganjuran Asia Pacific Climate Week pada tahun lepas serta beberapa acara lain seperti Green Legacy Summit, Johor-Korea Business Forum, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Iskandar Investment Berhad akan menganjurkan Nikkei Forum @ Medini Asia 2025. Satu Memorandum Persefahaman telah ditandatangani di Pejabat Nikkei di Tokyo, Jepun pada 22 November 2024 antara IIB dan Nikkei Inc., sebuah organisasi media terkemuka dari Jepun dan disaksikan oleh saya sendiri. Forum berkenaan akan menampilkan dialog pengurusan global Nikkei, menghimpunkan lebih 500 pelabur, tokoh penting dan pakar industri dari Jepun dan Asia untuk membincangkan isu-isu penting dalam ekonomi digital, teknologi, inovasi, kemampanan dan masa depan pasaran Asia. Acara sebegini memberi peluang besar kepada pihak berkepentingan untuk berhubung dengan pelabur serantau, wakil kerajaan dan pemimpin industri dalam meneroka prospek pelaburan di Johor dan Asia Tenggara. Sekali lagi kita akan jemput Ahli-Ahli Dewan Negeri untuk turut dilibatkan dalam Forum Nikkei Asia pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan 2025 juga memberi satu tumpuan kepada peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor. Sepertimana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM3 juta untuk melanjutkan program PRO-MAHIR serta memperluaskan program ini melalui kerjasama antara Majlis Bakat Pembangunan Johor dengan HRD Corp yang akan menyalurkan dana sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan kesesuaian latihan dengan permintaan industri. Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan berkualiti tinggi tetapi juga memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing di peringkat global. Melalui inisiatif-inisiatif ini, Kerajaan Negeri Johor yakin akan dapat mempersiapkan dan memperkasakan bakat tempatan untuk memanfaatkan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkankan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Zon Kewangan Forest City dan lain-lain projek yang sedang diusahakan.

Berkaitan persediaan menghadapi populasi warga emas, untuk makluman YB Pasir Raja, Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO menyedari bahawa Malaysia dijangka menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada penduduk negara akan berumur 60 tahun dan ke atas atau ageing population. Dalam hal ini, KESUMA sedang meneliti pemerkasaan sistem perlindungan sosial kepada semua golongan pekerja khususnya sektor swasta dan bekerja sendiri daripada sebarang krisis selepas persaraan akibat ketidak cukupan wang simpanan apabila mencapai umur persaraan melalui kerangka Dasar Sumber Manusia 2025 – 2030. Perancangan ini perlu diteliti dan diperhalusi terutama berkaitan had umur, faedah-faedah PERKESO dengan mengambil kira kos sara hidup dan kadar inflasi semasa serta kemampanan dana. Selain itu, KESUMA dan juga PERKESO melalui Kerajaan Negeri turut berkolaborasi dalam memastikan golongan rentan termasuk pesara dan warga emas masih menjadi keutamaan sumber manusia negeri atau negara.

Oleh itu, di bawah Bajet 2024, KESUMA melalui PERKESO telah melaksanakan Program Daya Kerjaya 2.0 yang merupakan program membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar dalam kalangan golongan mudah terjejas seperti bekas banduan, OKU, pesara dan warga emas mendapatkan pekerjaan dan gaji bernilai yang lebih tinggi. Insentif khas ini adalah sebanyak RM1,500.00 sebulan selama 6 bulan untuk majikan yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar ini. Berdasarkan statistik PERKESO dari tempoh Januari hingga 8 November 2024, seramai 836 warga emas di negeri Johor

mendapat pekerjaan di bawah program ini yang melibatkan sebanyak 541 majikan dengan pengesyoran jumlah bayaran insentif sebanyak RM4.5 juta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kos sara hidup turut menjadi satu isu yang sentiasa dibangkitkan semasa Dewan ini bersidang antaranya Yang Berhormat Panti, Tenang, Bentayan. Untuk makluman juga pada tahun ini bagi Program Jualan Rahmah yang dilaksanakan di negeri Johor sehingga 15 November 2024, jumlah jualan adalah RM10.42 juta dan telah pun dilaksanakan sebanyak 783 kali merangkumi ke semua 26 kawasan Parlimen dan 56 kawasan DUN secara giliran. Kerajaan Negeri terus bekerjasama dengan pihak KPDN Johor untuk melaksanakan skim kawalan harga maksimum musim perayaan bagi mengawal kenaikan harga barangan utama yang mendapat permintaan yang tinggi semasa musim perayaan seperti ayam, daging, sayur-sayuran dan ikan di peringkat runcit dan borong. Ini bertujuan untuk melindungi pengguna dan membanteras peniaga-peniaga daripada mengambil kesempatan untuk meningkatkan atau menaikkan harga demi keuntungan yang tinggi.

Sebagai hasil penguatkuasaan pada tahun ini, KPDN Johor telah pun menjalankan 1,058 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit dan sebanyak 46 kes telah disiasat dan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan jumlah kompaun RM9,400.00 dikenakan. Pegawai pemantau harga KPDN Johor juga melakukan kutipan data harga barangan keperluan pengguna terpilih secara harian di pasaran. Maklumat tersebut menjadi rujukan kepada kerajaan dalam rangka tindakan untuk memastikan kestabilan harga dan juga bekalan barangan. Sehubungan itu, seramai 91 orang Pegawai Pemantau Harga telah pun dilantik di negeri Johor bagi membuat kutipan harga yang merangkumi 22 premis pasar basah, 28 premis pasar mini, 70 pasar raya dan hyper market dan 22 gerai runcit yang terlibat di semua daerah di negeri Johor. Ini membantu memastikan pemantauan yang komprehensif untuk menyokong langkah-langkah kerajaan dalam menjaga keadilan harga dan juga kesediaan barang keperluan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, semua insentif-insentif ini mencerminkan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri Johor untuk membangun, memperkukuh dan memajukan negeri ini. Dengan sokongan semua pihak, saya yakin Johor akan terus maju bukan sahaja sebagai negeri paling dinamik di Malaysia tetapi juga sebagai hab ekonomi serantau yang berdaya saing. Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan isu-isu berkaitan Jawatankuasa ini semasa persidangan Dewan kali ini. Sekian terima kasih, salam Maju Johor.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat, tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, kepada keluarga dan sahabat baginda. Sebelum meneruskan penggulungan, izinkan patik juga terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November 2024. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja sekalian dilanjutkan usia, serta sentiasa berada dalam keafiatan agar dapat terus menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri demi kepentingan dan kemaslahatan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama kali saya mengucapkan jutaan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz bin Ghazi di atas pembentangan Belajawan Johor 2025 dengan tema Maju Johor Rakyat Sejahtera pada 22 November yang lalu. Saya yakin belanjawan ini dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat buat rakyat Johor khususnya untuk memperhebatkan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan. Kajang Pak Malau kajang berlipat, dagang hamba musafir lalu; kerajaan sentiasa memikirkan rakyat, agar negeri Johor terus maju.

Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor dijangka akan menjadi kuasa besar pertumbuhan ekonomi yang baharu di rantau ini. Didorong oleh dua projek berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ). Dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana di negeri Johor. Johor merupakan negeri pertama yang menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC) iaitu jawatankuasa bagi melatih tenaga kerja mahir di Johor. 11 sektor yang menjadi tonggak utama dalam memaju JTDC ini ialah logistik, tenaga, ekonomi digital, pelancongan, perkhidmatan profesional, kesihatan, pendidikan, keselamatan makanan, perkhidmatan, teknologi hijau dan pembuatan. JTDC berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pemain industri dengan tenaga mahir serta meminimumkan ketidakpadanan yang membolehkan pemain industri melaksanakan pengambilan pekerja tempatan. JTDC juga berperanan untuk memastikan modul dan kursus yang dilaksanakan bertepatan dan sesuai dengan keperluan industri. Contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif yang boleh kita lihat adalah pengenalan Diploma Industri Bagi Kursus Hospitaliti Dan Kulinari di Kolej Yayasan Pelajaran Johor yang akan bermula suku tahun pertama 2025. Di mana pelajar hanya perlu berada di kolej selama satu tahun, dipendekkan daripada dua tahun sebelum ini dan menjalani latihan industri selama satu tahun berbanding enam bulan sebelum ini. Inisatif ini juga akan diusahakan untuk diperluaskan kepada institusi pendidikan yang lain bagi memastikan graduan yang dihasilkan selari dengan kehendak industri dan juga matlamat JTDC.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Puteri Wangsa, Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Penawar, Yang Berhormat Sedili dan Yang Berhormat Sungai Balang ada melontarkan isu berkenaan JTDC dari segi insentif Kerajaan Negeri kepada industri terlibat. Kebolehpasaran anak Johor dan penekanan kemahiran serta gaji premium TVET. Saya rangkumkan secara kompleks bagi menjawab isu-isu yang dilontarkan. Pihak kerajaan komited untuk menyediakan eko sistem pembangunan bakat yang terbaik demi manfaat seluruh Bangsa Johor secara menyeluruh dan saksama. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resource Development Corporation (HRD Corp.), Talent Corp Malaysia Berhad (TalentCorp), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan seluruh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sentiasa pro aktif berganding bahu bersama bagi menjayakan Agenda JTDC. Oleh hal yang demikian, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan dengan hasil sokongan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia melalui HRDC bagi memfokuskan pembangunan bakat di bawah JTDC sepanjang tahun 2025.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Agenda Gaji Premium merupakan antara tonggak utama JTDC. Berdasarkan kajian menyeluruh yang telah dijalankan, JTDC mendapati bahawa inisiatif pembangunan bakat tidak boleh sama sekali dipisahkan daripada soal penawaran gaji. Dapatan menunjukkan bahawa syarikat yang menawarkan pakej pekerjaan yang tidak kompetitif akan berhadapan cabaran besar untuk mengekalkan pekerja. Dalam bidang TVET pula, wawasan besar JTDC adalah untuk memastikan bahawa setiap seorang daripada mereka yang melanjutkan pengajian di institusi latihan dan vokasional melalui bidang TVET akan dihubungkan secara terus dengan penempatan dalam pasaran kerjaya. Kerajaan Negeri Johor berobligasi dalam memastikan golongan TVET berkemahiran tinggi menerima gaji yang bersesuaian dengan output yang diberikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa negeri Johor sangat beruntung kerana merupakan negeri yang tertinggi menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada tahun ini, negeri Johor telah menerima peruntukan pembangunan yang telah diluluskan untuk melaksanakan projek pembangunan fizikal dan juga pembangunan bukan fizikal berjumlah hampir RM171 juta. Saya berbesar hati ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas pengumuman 18 projek sekolah baharu di negeri Johor semasa Belanjawan Johor 2025 yang akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan iaitu sekolah berikut :

1. Sekolah Kebangsaan Bandar Putera Indah Batu Pahat; 2. Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Alam III; 3. Sekolah Kebangsaan Taman Scientex II; 4. Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai II; 5. Sekolah Kebangsaan Taman Desa Tebrau; 6. Sekolah Kebangsaan Taman Setia Tropika; 7. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setia Tropika; 8. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Impian Jaya; 9. Sekolah Menengah Taman Setia Jaya; 10. Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Alam III; 11. Kompleks Sekolah Taman Eko Flora Johor Bahru yang mengandungi sekolah rendah dan sekolah menengah; 12. Sekolah Kebangsaan Bandar Uda Utama; 13. Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Bayu; 14. Sekolah Kebangsaan Kota Masai II; 15. Kolej Tingkatan 6 Iskandar Puteri; 16. Kolej Tingkatan 6 Pasir Gudang; 17. Sekolah Kebangsaan Renggam Jaya; 18. Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Tangkak.

Ini membuktikan Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri sangat komited tentang pendidikan dalam negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor beruntung kerana pada tahun 2025 Johor bakal membina sekolah khas Autistik yang pertama di negara ini bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan Autistik. Dengan pengumuman pembinaan sekolah ini pastinya menjadi hadiah terbaik kepada ibu bapa khususnya di Johor yang mengharapkan anak-anak istimewa tidak tercicir daripada aspek pembelajaran dan pengurusan kendiri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pulai Sebatang telah menyuarakan kerisauan terhadap keperluan pelajar di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terutama di SMK Kayu Ara Pasong. Semua murid berkeperluan pendidikan khas, berpeluang untuk menerima akses pendidikan yang relevan dan sesuai dengan menyediakan peluang untuk mengikuti program pendidikan yang menjurus kepada peningkatan potensi sedia ada bagi melahirkan kumpulan separuh mahir dan seterusnya menjadi aset kepada negara. Untuk SMK Kayu Ara Pasong, tahun 2024 telah diperuntukkan bagi menaik taraf bengkel kemahiran vokasional spesifik di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 dalam Rolling Plan Ke-4 sebanyak RM400,000.00. Ubah suai telah diselesaikan yang meliputi skop kerja dan menaik taraf Bengkel Asas Roti dan Kelas Pendidikan Khas. Pada tahun 2025 telah dicadangkan bagi penyelanggaraan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya sekolah tersebut. YB Sri Medan ada menyuarakan kebimbangan jumlah peruntukan KPM turunkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi sekolah-sekolah negeri Johor yang tidak mencukupi. Untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, peruntukan penyaluran penyelanggaraan bagi sekolah kerajaan dan juga sekolah bantuan kerajaan adalah berdasarkan susunan keutamaan bagi memastikan memenuhi keperluan sekolah yang tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh KPM. Penyaluran

peruntukan penyelanggaraan kepada Jabatan Pendidikan Negeri atau Jabatan Kerja Raya adalah berdasarkan skop kerja penyelanggaran yang telah ditetapkan oleh KPM.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Johor Jaya ada menyuarakan masalah kemudahan uzur di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan sebanyak RM4.5 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan bangunan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengan SMKA Johor Bahru. Skop kerja melibatkan kerja-kerja bumbung, syiling, mengecat tangki air, kalis air, perpaipan, tingkap, lurang dan rawatan serangga perosak bagi blok yang terlibat. Pelaksanaan kerja-kerja penyelanggaraan dan pembaikan di bawah Jabatan Kerja Raya daerah Johor Bahru, tempoh kerja-kerja bermula 12 November 2024 sehingga 10 Julai 2026.

Seterusnya Yang Berhormat Penawar ada menyatakan isu tentang membaik pulih sekolah dan pendawaian elektrik di kawasan FELDA yang kebanyakannya telah rosak dan sering kali mengalami masalah elektrik. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, antara tindakan yang diambil oleh JPN Johor untuk baik pulih pendawaian elektrik untuk mengelakkan kerosakan litar pintas dan kebakaran adalah seperti berikut; mengenal pasti bangunan sekolah lama yang berusia lebih 50 tahun, menyediakan peruntukan yang diperlukan untuk pendawaian semula elektrik, melaksanakan pendawaian semula elektrik bagi sekolah yang dikenal pasti, memantau pelaksanaan pendawaian semula elektrik, mengadakan kerjasama dengan cawangan kejuruteraan elektrik negeri Johor, Jabatan Kerja Raya bagi sesi inspektorat ke sekolah yang mempunyai bangunan lama untuk menilai tahap keselamatan sistem pendawaian elektrik.

Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, JPN Johor sentiasa memberi keutamaan, keselamatan sekolah bagi mengelakkan berlakunya kerosakan litar pintas dan kebakaran di sekolah. Oleh itu, penambahbaikan dalam aspek pendawaian elektrik dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan sekolah selamat digunakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Panti ada menyuarakan isu mempertimbangkan semula peperiksaan UPSR supaya transformasi pendidikan dapat dicapai serta perintis Bangsa Johor dapat direalisasikan. Oleh hal yang demikian, KPM memaklumkan bahawa susulan pemansuhan UPSR mulai tahun 2021, KPM memberikan tumpuan kepada pemerkasaan pentaksiran berasaskan sekolah melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah. Pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran psychometric.

Melalui sesi persekolah 2022-2023, KPM telah melaksanakan ujian akhir sesi akademik yang merupakan pentaksiran kumulatif dalam PPS. Ujian ini dilaksanakan untuk menilai pencapaian murid dalam suatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran. Namun, bagi penilaian di sekolah rintis Bangsa Johor, kita akan mulakan kaedah yang berlainan iaitu pentaksiran menggunakan standard PSLE. Di Singapura, PSLE biasanya merujuk kepada Primary School Living Examination iaitu peperiksaan penting, dalam, yang sangat ketat yang diambil oleh tahun 6 sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Tuntasnya, sistem PSLE ini sering dianggap mencabar dan ketat perlaksanaannya tetapi sangat berstruktur dan sistematik bagi menilai pencapaian di sekolah yang berjaya diguna pakai oleh Singapura merupakan negara yang terbaik dari segi pendidikannya di dunia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kahang ada menyuarakan bagi perancangan Kerajaan Negeri agar pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan juga turut cemerlang dalam akademik. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, sekolah sukan terdiri daripada Sekolah Sukan Malaysia dan juga Sekolah Sukan Negeri. Sekolah Sukan Malaysia menempatkan atlet murid yang berpotensi daripada seluruh negara melalui ujian mengenal pasti bakat. Terdapat sebuah sekolah sukan Malaysia iaitu Sekolah Sukan

Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi. Sekolah sukan di negeri Johor pula adalah Sekolah Sukan Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn, Kluang yang melaksanakan pembangunan beberapa jenis sukan iaitu olahraga, bola sepak, bola jaring, sepak takraw, hoki dan ragbi.

Bagi memastikan atlet murid yang terlibat dalam latihan sukan tidak tercicir dalam pengajaran dan pembelajaran, semua Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri mengambil usaha seperti yang berikut :

1. Mengadakan kelas ganti bagi atlet murid yang mengikuti latihan atau kejohanan sukan pada sebelah malam. 2. Mengadakan kelas secara dalam talian melalui medium yang sesuai. 3. Menyediakan modul PDP latihan untuk dilaksanakan oleh atlet murid semasa tempoh latihan sukan. 4. Bimbingan one to one kepada atlet murid yang tercicir setelah tamat kejohanan sukan yang disertai oleh atlet murid.

Yang Berhormat Johor Lama juga ada menyuarakan cadangan untuk membangunkan institusi pendidikan kampus cawangan universiti tempatan, kolej vokasional, politeknik dan pusat penyelidikan di kawasan Johor Lama. Oleh hal yang demikian, bagi membangunkan sesebuah institusi pendidikan, memerlukan kos yang sangat tinggi dan perancangan yang sangat rapi. Bagi kawasan Kota Tinggi sudah terdapat Kolej Vokasional Kota Tinggi, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Hospital Pengajian USIM yang akan dibangunkan oleh KPT serta Kolej Vokasional Pengerang yang dibangunkan oleh KPM yang dijangka beroperasi pada tahun 2026. Oleh itu, saya akan mempertimbangkan permohonan ini untuk dibawa ke kementerian jika ada keperluan untuk ditambah lagi institusi pendidikan di kawasan Johor Lama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Tiram telah mencadangkan agar tempoh bertenang pada hari Jumaat bagi sesi persekolahan berdurasi 1 jam 30 minit iaitu 12.30 tengah hari sehingga 2.00 petang. Cadangan ini adalah bagi memastikan pelajar tidak tergesa-gesa bagi menyambung semula sesi persekolahan selepas Solat Jumaat.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, sebuah ketetapan telah diputuskan bahawa sesi persekolahan bagi sesi pagi akan ditamatkan kepada jam 12.00 tengah hari dan sesi petang akan bermula 2.30 petang. Ini bermakna, waktu yang diperuntukkan bagi murid, guru, ibu bapa yang beragama Islam adalah sebanyak 2 jam 30 minit bagi memberi ruang persediaan untuk menunaikan Solat Jumaat.

Yang Berhormat Tangkak juga telah menyuarakan, bahawa kerajaan perlu melakukan satu perincian dan inisiatif yang sangat mendalam agar pembaikan pertukaran hari cuti ini akan diraih oleh semua lapisan rakyat di negeri Johor bagi mengelakkan murid ponteng sekolah.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, berdasarkan analisis rekod kehadiran murid yang telah dijalankan, sesi persekolahan pada hari Ahad merekodkan kehadiran lebih rendah secara relatif berbanding hari-hari persekolahan yang lain. Semua sekolah rendah menunjukkan purata kehadiran terendah pada hari Ahad. Beberapa inisiatif yang dilakukan oleh JPN Johor untuk menangani isu ponteng sekolah dan memastikan pertukaran hari cuti ini memberi manfaat kepada kualiti pendidikan adalah seperti berikut :-

1. Menjalankan tinjauan atau soal selidik menyeluruh. 2. Kempen Kesedaran Kepentingan Pendidikan.

3. Pemantauan dan Sokongan Sekolah, serta 4. Kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Panti ada menyuarakan pandangan agar Kerajaan Negeri Johor memperkasakan biasiswa dan pinjaman pelajaran khas untuk Orang Asli. Kerajaan negeri Johor melalui YPJ ada menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan seperti pinjaman pelajaran dan juga biasiswa pelajaran di pelbagai peringkat. Untuk makluman, ke semua bantuan pendidikan yang disediakan ini terbuka kepada semua rakyat negeri Johor tiada sebarang pengkhususan dari segi kaum mahu pun etnik di dalam pemberian bantuan pendidikan tersebut. Malah masyarakat Orang Asli juga di negeri Johor ini juga boleh turut sama memohon jika memenuhi syarat yang ditetapkan.

Seterusnya, Yang Berhormat Mahkota ada menyatakan pendapat bagi Kolej Kemahiran Johor, Kluang yang dilihat tidak berfungsi dan terbiar. Memohon agar setidak-tidaknya kerajaan negeri dapat menghidupkan semula. Terima kasih kepada Yang Berhormat Mahkota atas keprihatinan beliau terhadap Kolej Kemahiran Johor, Kluang. Kerajaan Negeri Johor memahami kebimbangan yang dibangkitkan dan mengakui bahawa aset seperti ini adalah penting untuk pembangunan modal insan dalam negeri kita terutama dalam mendukung agenda Johor Talent Development Council.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Pendidikan YPJ yang baru-baru ini dan telah memutuskan satu pelan penyusunan semula kolej-kolej di bawah KPYPJ dengan perancangan yang lebih khusus. Perkara yang diberikan keutamaan ialah kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur kolej-kolej yang usang. Kerja-kerja ini akan dijalankan secara berperingkat mengikut keperluan setiap cawangan.

Kerajaan Negeri Johor melihat usaha menghidupkan semula Kolej Kemahiran Johor sebagai sebahagian daripada agenda besar Pembangunan Modal Insan Johor melalui Johor Talent Development Council. Dengan pelan tindakan yang strategik, kami yakin Kolej Kemahiran Johor bukan sahaja dapat berfungsi semula tetapi juga menjadi contoh pusat latihan yang unggul di Malaysia. Untuk itu, pelan tindakan yang lebih menyeluruh sedang dirangka dan akan dimasukkan di dalam perancangan pembangunan negeri untuk tempoh 5 tahun akan datang. Dari Tenggara menuju Mersing, hendak mencari buah berangan; kebajikan rakyat amatlah penting, sukan Maju Johor menjadi pegangan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Gambir telah menyuarakan pandangan supaya kerajaan melakukan langkah yang proaktif bagi memastikan jenama Maju Johor 2030 dipromosikan dengan lebih menyeluruh di samping merealisasikan jenama tersebut. Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Besar Johor di hadapan anggota perkhidmatan awam negeri Johor telah menzahirkan hasrat untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri Johor yang maju menjelang 2030. Meski pun tiada peruntukan yang spesifik dalam Belanjawan Johor 2025 bagi mempromosikan Maju Johor 2030 seperti yang dinyatakan Yang Berhormat Gambir namun kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan gagasan berimpak tinggi ini bagi memastikan dengan jayanya. Usaha ini turut menuntut komitmen kepada seluruh Bangsa Johor termasuklah Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini.

Setiap daripada Bangsa Johor, termasuklah anggota perkhidmatan awam Johor mahu pun pemegang taruh mempunyai tanggungjawab untuk bersama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan Johor boleh menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. Promosi boleh hadir

dalam bentuk yang memerlukan kekuatan kewangan tetapi mampu juga dilaksanakan dengan dengan iltizam menjayakan setiap inisiatif di bawah teras utama agenda Maju Johor.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri telah mengambil langkah signifikan dengan melancarkan laman sesawang rasmi Maju Johor yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 21 November 2024 yang lalu. Portal ini menjadi perkongsian berita dan informasi berkaitan pentadbiran negeri, perancangan pembangunan serta inisiatif agenda Maju Johor kepada rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri penggulungan saya, izinkan saya menyampaikan pantun yang terakhir. Ombak kecil menyapa pantai, perahu nelayan indah warnanya; Johor Maju berkat damai, rakyat sejahtera limpah rahmatNya. (Dewan bertepuk). Kepada Allah Berserah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamuálaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat, terima kasih Yang Berhormat kerana hantar lobster ke bilik saya. 4 ekor itu, saya makan seorang saja. Untuk tahun hadapan, hantar lagi ya. Ahli-Ahli Yang Berhormat sidang ini saya tangguhkan sehingga jam 2.30 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 1.00 petang.

Persidangan bersambung semula pada jam 2.30 petang.

YB Datuk Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Jurutulis

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat, jemput.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Bismillahirrahmanirrahim. Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ingin memulakan ucapan penggulungan saya pada pagi ini dengan merafak merafak sembah setinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November lalu. Semoga sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah serta berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas titah Duli Yang Amat Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sarat dengan nasihat dan pandangan konstruktif demi kesejahteraan dan keutuhan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, syukur alhamdulillah, berkat usaha dan kesungguhan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, dengan jalinan hubungan erat bersama kerajaan persekutuan telah berjaya meluluskan beberapa projek yang akan memberi manfaat dan impak positif yang besar kepada rakyat negeri Johor khususnya.

Seterusnya, ucapan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor juga di atas pembentangan Belanjawan Johor 2025 pada 21 November yang lalu.

Hampir ke semua peringkat rakyat dapat menerima inisiatif dari pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat di samping menyelesaikan isu-isu yang dekat dengan rakyat seperti jaringan jalan raya, pengangkutan awam serta infrastruktur. Saya yakin cita-cita murni ini dapat direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan semua pihak, insya-Allah. Berdasarkan Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera yang ditunjangi 6 Teras. Maju Johor ini sememangnya inklusif, lestari, komprehensif dan sejahtera untuk rakyat Johor. Di kesempatan ini juga, saya ingin highlight kan beberapa perkara yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025 berkaitan portfolio saya itu di bawah Teras Ke-4 : Kemudahan dan Keperluan Asas.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat, pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan rasa dukacita atas apa yang berlaku di Kelantan, Terengganu di mana mangsa banjir telah meningkat sehingga ke 30,000 orang. Sesungguhnya isu-isu banjir dekat di hati kita dan kita mengambil iktibar daripada apa bencana yang berlaku sama ada di kawasan utara sana, termasuk juga di kawasan Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu banjir merupakan fokus utama kerajaan negeri dalam belanjawan negeri pada tahun hadapan. Sebelum ini, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kebanyakan Ahli-Ahli Yang Berhormat selalu membincangkan tentang jalan berlubang, jalan rosak dan sebagainya.Tapi saya lihat kali ini, perbahasan rata-ratanya membangkitkan isu yang berkaitan dengan banjir dan sebagainya. Selain projek-projek besar yang diluluskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan, sebanyak 11 projek bernilai RM11.5 bilion termasuk projek yang baru diumumkan iaitu projek tebatan banjir Sungai Skudai bernilai hampir RM100 juta. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM14.97 juta pada tahun hadapan bagi projek rancangan tebatan banjir berskala kecil, kerja-kerja menaik taraf pintu air, menaik taraf lembangan sungai, kerja-kerja pengaliran muara sungai, serta kerja-kerja menaik taraf saliran pertanian.

8 projek rancangan tebatan banjir berskala kecil yang dicadangkan ialah di Sungai Gelang Patah di Kampung Muafakat mukim Tanjung Kupang Johor Bahru bernilai RM2 juta. Kerja-kerja meninggikan Sungai Muar di Tanjung Olak, bernilai RM500,000.00. Kerja-kerja pembinaan longkang konkrit L shape, di Parit Besar di kawasan saliran Simpang Kanan bernilai RM4.16 juta. Selain kerja-kerja menggali dan mendalamkan Sungai Kesang, parit keliling Sungai Air Masin Tebing Kiri sehingga ke Parit Keliling Petak Laut di Jambatan Parit Penghulu, Mukim Ayer Masin dan Mukim Serkat, Daerah Pontian. Penggalian Sungai Pontian Besar dari hulu Sungai Pontian Besar ke Loji SAJ Bukit Batu, Mukim Bukit Batu, Kulai, pemuliharaan Sungai Segamat di Mukim Gemereh, Segamat serta kerja penggalian Sungai Perpat dan Sungai Simpang, Mukim Sedili Besar, Kota Tinggi.

Selain itu 7 projek menaiktaraf pintu air dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan di Parit Bagan Laut, Daerah Batu Pahat Johor; Parit Botak, Daerah Batu Pahat Johor; Sungai Balang, Daerah Muar; Parit Jawa, Daerah Muar; kuat lagi YB Sungai Balang, Sungai Ring, Daerah Tangkak; Sungai Belukang, Daerah Pontian dan Sungai Paya Datuk, Daerah Mersing dengan kos setiap projek bernilai RM500,000.00. Sejumlah RM1.45 juta juga diperuntukkan bagi menaiktaraf pintu air jenis flap gate kepada pintu air jenis tidal control gate di Parit Haji Abdul Salam di Peserai, Batu Pahat.

Terdapat 9 projek menaiktaraf lembangan sungai dengan lokasi yang dicadangkan ialah kerja pengukuhan tebing Sungai Serai di Kampung Sentosa Damai, Plentong; membersih Sungai Merkudu, Mukim Jorak, Muar; kerja penggalian Sungai Yah di Mukim Paloh, Kluang; kerja pengukuhan tebing Sungai Melantai di Mukim Kluang, Johor; ini merupakan manifesto Yang Berhormat Mahkota semasa PRK hari itu, alhamdulillah kita luluskan RM700,000.00

untuk projek pengukuhan tebing Sungai Melantai di Mukim Kluang, Johor; menggali dan serta lain-lain kerja di Sungai Rengit, Mukim Sungai Kluang, Batu Pahat; kerja menggali dan mendalamkan Sungai Sanglang di Mukim Ayer Baloi, Daerah Pontian; kerja mengukuh tebing sungai serta kerja berkaitan di Sungai Skudai, Taman Makmur, Mukim Kulai, Kulai, Johor; pengukuhan tebing Sungai Tenang di Mukim Labis, Segamat; menaiktaraf tebing di Sungai Temenin, Mukim Kota Tinggi, Kota Tinggi.

Selain itu juga Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terdapat lima projek untuk penggalian muara sungai. Kita nak kasi air ni lepas terus sampai ke laut. Kita ada lima projek yang kita jangka akan siap selewat-lewatnya tahun 2026 iaitu penggalian muara Sungai Masai di Kampung Pasir Gudang Baru, Mukim Plentong, menggali dan mendalam kuala Parit Raja, Parit Jawa, Daerah Muar; menggali dan mendalamkan muara Sungai Kajang, Mukim Peserai, Batu Pahat; mendalamkan Sungai Senduk, muara Sungai Senduk di Saliran Kesang, Tangkak dan kerja-kerja menggali mendalamkan sungai, muara Sungai Ayer Baloi di Mukim Api-Api, Daerah Pontian bernilai RM490,000.00.

Selain itu ada 6 projek untuk kita naiktaraf saliran pertanian kita yang akan sepenuhnya siap selewat-lewatnya Disember 2026 iaitu menaiktaraf benteng Sungai Che Manan di Kampung Pendas, Mukim Tanjung Kupang, Johor Bahru, RM400,00.00; kerja-kerja membersihkan kelodak penggalian dan pembersihan kelodak di Kampung Ithnin Maarof, Mukim Machap, Kluang; penggalian dan pembersihan kelodak parit di Kampung Sungai Linau, Mukim Machap; parit keliling Minyak Beku, Batu Pahat; pembersihan sistem saliran di Kesang Tasek, Mukim Kundang, Daerah Tangkak dan kerja-kerja menstabilkan benteng di Parit Sidi di Mukim Api-Api, Daerah Pontian.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, bagi kawalan hakisan pantai, empat projek yang kita akan mulakan pada tahun hadapan dan insya-Allah dijangka siap pada tahun 2026 ialah kerja pengawalan hakisan Pantai Mersing bernilai RM500,000.00; kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di Pantai Seri Menanti, Mukim Seri Menanti, Muar, RM500,000.00; membaik pulih struktur tebing di muara Parit Salam, Mukim Peserai, Batu Pahat bernilai RM300,000.000 dan kawalan hakisan pantai di Kuala Penerok di Mukim Ayer Masin, Daerah Pontian, RM500,000.00. Jelapang padi di tepi rumah, bunga selasih tumbuh di sana, banyak sedekah banyaklah hikmah, cegah musibah ukhwah terbina. Pantun ini disumbangkan oleh Yang Berhormat Yong Peng.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, anggaran tahunan peruntukan MARRIS yang diterima oleh Kerajaan Johor bagi penyelenggaraan jalan-jalan negeri adalah sebanyak RM635 juta setahun. Peruntukan ini merangkumi jalan negeri, jalan PBT, jalan kampung serta jalan pertanian sepanjang 23,600 kilometer. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ini tidak termasuk berapa lorong jalan tu ada, kalau jalan tu ada dua lorong, kita darablah dengan dua, kalau jalan tu ada tiga lorong, kita darab dengan tiga, dan jarak ni lebih kurang separuh perjalanan kita ke bulan. Selain itu, peruntukan ini bukan sahaja digunakan untuk kerja-kerja menurap jalan yang rosak tetapi juga digunakan untuk kerja-kerja seperti memotong rumput, membersih longkang, mencuci papan tanda dan lain-lain yang berkaitan dengan perabot jalan. Selain daripada peruntukan MARRIS yang diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri, beberapa projek naiktaraf dan projek baru turut dicadang untuk dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Negeri.

Untuk DUN Layang, sebanyak dua projek menaiktaraf jambatan dicadangkan iaitu Jambatan Sungai Berambong bernilai RM9.7 juta, manakala sejumlah RM4.5 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf jambatan di Kampung Shaari, Simpang Renggam. Sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi cadangan pemasangan lampu isyarat pejalan kaki di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, ini bawah DUN Bentayan. Cadangan menaiktaraf Persimpangan dan pemasangan lampu isyarat di Simpang Empat Tungku Tiga di bawah DUN Pemanis. Cadangan menaiktaraf persimpangan Jalan Serom 8 ke Kampung Bukit

Banjar bawah DUN Serom serta cadangan pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan MARDI, Kluang di bawah jajahan DUN Kahang. Bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan dan lampu amber di kawasan persimpangan yang berisiko tinggi, berisiko tinggi serta hotspot kemalangan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada cadangan lokasi yang perlu diberi keutamaan bolehlah dihantar kepada pihak kami untuk dinilai dan dipertimbangkan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan sekalian, sebanyak 65 laluan Bas Muafakat Johor dengan bilangan bas sebanyak 78 buah disediakan oleh kerajaan negeri Johor secara percuma untuk warganegara Malaysia. Perkhidmatan yang menelan belanja RM28.5 juta ini telah memberi manfaat kepada 14.7 juta pengguna sehingga Oktober 2024 sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016. Bagi memastikan perkhidmatan bas percuma ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dan Bangsa Johor, penilaian secara berkala terhadap prestasi bilangan penumpang sentiasa dilakukan.

Untuk tahun ini, sebanyak 9 laluan telah dibuat penambahbaikan berdasarkan penilaian bilangan pengguna serta permohonan penduduk setempat. Laluan pertama ialah Terminal Yong Peng – Kangkar Baharu, insya-Allah akan ada unjuran peningkatan sebanyak 24 peratus, Econsave, Senai ke Pejabat Daerah Kulai unjuran peningkatan sebanyak 19 peratus, Terminal Maharani ke Jorak, unjuran peningkatan 24 peratus, Terminal Maharani ke Parit Bakar unjuran peningkatan 24 peratus, Terminal Bandar Penawar–MPP–Terminal Feri Desaru unjuran peningkatan 21 peratus dan laluan Terminal Tangkak ke Majlis Daerah Tangkak unjuran peningkatan 17 peratus. Manakala tiga lagi laluan iaitu Terminal Tiram ke FELDA Sungai Tiram, Terminal Gelang Patah ke MBIP serta Terminal Maharani ke Hospital Muar ke Sungai Abong masih lagi dalam tindakan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan. Satu laluan baharu diperkenalkan mulai 1 Oktober 2024 iaitu laluan Pekan Paloh ke Bandar Kluang yang telah memberi manfaat kepada 1,300 orang pengguna setakat ini. Baru dua bulan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tapi dah manfaatkan 1,300 pengguna setakat ini. Mereka yang menggunakan perkhidmatan ini adalah bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Bandar Kluang. Insya-Allah perkhidmatan bas ini akan diteruskan lagi pada tahun 2025 dengan kos dianggarkan RM318,000.00 setahun dengan kekerapan 4 trip sehari.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 serta usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan fasiliti di Terminal Larkin Sentral, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM2.5 juta bagi kerja-kerja naiktaraf platform berbumbung, kawasan ruang khas pemandu berehat dan had sempadan tertutup. Selain memberi keselesaan kepada pengguna seramai 24,000 orang sehari termasuklah penumpang bas ekspres, bas Singapura, bas henti-henti, teksi serta pengunjung pasar basah, kerja-kerja naiktaraf ini juga mampu menjadikan Terminal Larkin Sentral sebagai sebuah pusat pengangkutan awam pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Green dan Smart Terminal serta memperoleh penarafan Gred A. Perkhidmatan shuttle bus percuma ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Stadium Sultan Ibrahim dan Zoo Johor akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM885,000.00 disamping cadangan untuk mengadakan shuttle bus percuma juga ke Bangunan Sultan Ibrahim dan Taman Botani DiRaja.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi menjamin kelangsungan bekalan air mentah di 11 loji rawatan air sepanjang Sungai Juaseh, Sungai Segamat dan Sungai Muar, sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan bagi projek pembaikan cerun berhampiran kolam penenang di Empangan Juaseh, Segamat. Projek ini dijangka bermula suku pertama tahun 2025 dan dijangka siap pada tahun 2026. Bagi menjamin bekalan air terawat pula yang mencukupi untuk daerah Kulai khususnya dengan perkembangan industri pusat data, sebanyak RM90 juta diperuntukkan bagi membina Loji Rawatan Air Pakej Semanggar berkapasiti 50 juta liter sehari. Projek ini dijangka mula tahun hadapan dan dijangka siap akhir tahun 2025.

Bagi kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang, projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Layang 2 Fasa 2 yang bernilai RM180 juta akan dimulakan pada awal tahun hadapan dan dijangka siap pada Disember 2026. Projek ini akan menambah kapasiti bekalan air terawat bagi ketiga-tiga kawasan tersebut sebanyak 160 juta liter sehari. Sebanyak RM10.9 juta diperuntukkan bagi projek pemasangan paip dari Tangki Parit Markom, Pontian ke Rengit, Batu Pahat yang akan memanfaatkan penduduk Parit Bagan Barat, Parit Seri Merlong, Kampung Parit Tengah dan sekitarnya melibatkan 679 akaun pengguna berdaftar. Insya-Allah, projek ini akan bermula pada Januari tahun hadapan dan siap pada pertengahan tahun 2025. Sebanyak RM6 juta pula diperuntukkan bagi projek penggantian air mentah di Loji Rawatan Air Gersik, Tangkak untuk menjamin bekalan air terawat kepada hampir 5,000 akaun. Projek ini telah pun bermula pada bulan ini, bulan November dan dijangka siap pada bulan Mac tahun hadapan. 12,096 akaun di sekitar Bukit Perah, Parit Jawa dan Parit Bakar, Muar dijangka akan mendapat manfaat dengan pembinaan sistem pengepaman online yang akan meningkatkan tekanan air. Projek ini bernilai RM3.8 juta dan dijangka bermula pada November 2024 dan siap pada Mac 2025.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya tengok masa tak berapa nak mencukupi tapi saya ada senaraikan juga kawasan-kawasan yang selalu menjadi hotspot gangguan kepada infrastruktur ataupun utiliti kita sama ada dari segi pencapaian Internet, gangguan bekalan air dan juga gangguan bekalan elektrik. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat ada membangkitkan perkara-perkara tersebut dalam Dewan, insya-Allah saya boleh bagikan maklumat secara terus dengan menghubungi pihak saya. Pihak MCMC ataupun Suruhanjaya Komunikasi juga ada mengedarkan laporan projek-projek JENDELA dan POP di atas meja Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat masing-masing, di situ bolehlah dilihat beberapa projek yang dijalankan kawasan masing-masing dan unjuran penyiapan kerja-kerja mereka.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mohon maaf sekiranya ucapan penggulungan saya ini tidak menyentuh secara terperinci perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa sesi perbahasan. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan saya ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat dan Bangsa Johor agar terus memberikan sokongan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan dalam membangunkan negeri ini bersama-sama. Kita menerima projek highway Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker hampir RM2 bilion, Projek Tebatan Banjir hampir RM2 bilion, Projek Rapid Transit System bernilai RM5 juta. Saya dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan, 90 peratus projek pembangunan Kementerian Pengangkutan datang ke Johor. Kita di Johor menyambut baik projek-projek ini dan kita menubuhkan pelbagai jawatankuasa, task force dan sebagainya. Baik sebesar-besarnya projek ataupun jawatankuasa projek berimpak tinggi, sampailah ke jawatankuasa nak jaga longkang Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Begitu serius Kerajaan Negeri kita bukan sahaja untuk memastikan projek-projek yang turun ke negeri Johor dapat disiapkan mengikut masa dan sebagainya, kita ada task force khas antara kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat, supaya bukan sahaja dapat disiapkan mengikut masa tapi lebih awal daripada masa.

Oleh itu, saya berharap sokongan daripada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya projek-projek yang baik ini dapat kita laksanakan dan dapat kita uar-uarkan kepada masyarakat di luar sana. Kerana dengan izin, Yang Berhormat Datuk Timbalan Yang Dipertua, Rome was not build in a day, but they work on it everyday. Kejayaan kita dalam mencorak masa depan Johor adalah satu usaha bersama dan bukanlah usaha perseorangan. Dan perjalanan kita menuju ke arah itu, sudah boleh ditulis dengan tinta emas sebagai catatan peribadi yang indah. Tambak Johor teguh berdiri, menghubung dua tanah berjiran, pembangunan Johor maju berteknologi, Johor makmur rakyat sejahteraan. Saya sudahi ucapan saya dengan wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam Yang Berhormat Bukit Pasir, tahniah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mengalu-alukan kehadiran pemerhati yang dibawa oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor seramai 15 orang. Mereka adalah terdiri daripada Persatuan Penanam dan Usahawan Lada Selatan ataupun PEDAS dan Persatuan Ketua Kampung Negeri Johor. Dewan juga mengalu-alukan pemerhati daripada DUN Kawasan Bukit Permai seramai 27 orang. (Dewan bertepuk). Yang dibawa khas oleh Yang Berhormat Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor untuk menyaksikan perbahasan yang dibawa oleh ADUN-ADUN mereka. Ahli Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Yong Peng.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih, Datuk Timbalan Speaker, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor dan seisi Dewan sekalian. Saya ingin memulakan ucapan penggulungan dengan merakamkan ucapan merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 22 November. Saya juga ingin mengambil kesempatan dengan merakam ucapan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim atas segala bimbingan, nasihat, pandangan yang telah dicurahkan kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kepentingan, kemaslahatan Bangsa Johor. Semoga Tuanku dan seluruh kerabat DiRaja Johor dilancarkan segala urusan, dirahmati, diberkati dan dikurniakan afiat yang berpanjangan. Daulat Tuanku.

Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin mengucapkan jutaan tahniah di atas pencapaian Kerajaan Negeri yang buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini, Johor telah mencatat peningkatan hasil yang akan merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion bagi tahun 2024. Dalam tempoh 2 tahun ini juga, Johor telah menarik pelabur ke dalam negeri berjumlah RM113.7 bilion yang akan menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu kepada Bangsa Johor. Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi menjadi negeri Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

Semoga semua pihak tidak kira blok kerajaan mahupun pengimbang, sama-sama menyahut agenda di bawah oleh kerajaan negeri ini untuk kesejahteraan Bangsa Johor bersama. Ini adalah manifestasi kepimpinan Kerajaan Johor yang cemerlang di bawah Barisan Nasional dan di sebab oleh urus tadbir yang baik meyakinkan pelabur, pelabur tidak kira tempatan mahupun pelabur antarabangsa di bawah pimpinan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Dan juga pengurusan pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dato Dr. Haji Azmi bin Rohani yang menjadi tulang belakang atau orang kuat pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri. Dan tidak lupa juga usaha gigih ataupun kerja kuat daripada barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor. Warna Johor merah dan biru, terus terbang bagai helang, satu persatu pembangunan baharu, Agenda Maju Johor terus cemerlang.

Ketika Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar membentangkan Belanjawan Johor 2025, telah mengumumkan peruntukan untuk kaum Tiong Hua dan India melalui Teras Tiga Jaringan Keselamatan Sosial Inisiatif Tiga Puluh Satu, di mana sebanyak RM12 juta akan diperuntukkan bagi menyantuni masyarakat Tiong Hua dan India melalui Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah dan NGO-NGO lain bagi memperluaskan jaringan bantuan kebajikan kepada golongan rentan dan dapat memperkukuhkan jaringan sosial, di mana RM3 juta akan diperuntukkan bagi bantuan persekolahan yang akan memanfaatkan 6,000 pelajar sekolah kaum Tiong Hua dan India yang kurang berkemampuan. Manakala, RM1 juta akan diperuntukkan kepada Kolej Universiti Selatan yang akan memanfaatkan sekitar 500 pelajar.

Pada tahun ini, ketika saya melawat kesemua daerah bagi menyampaikan sumbangan dan peruntukan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat pada Belanjawan 2024, bagi kaum Tiong Hua, jelas terpancar riak wajah gembira pelajar-pelajar kaum Tiong Hua dan mereka semua mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, yang sentiasa cakna dan sentiasa mencurahkan kasih sayang kepada pelbagai bangsa di negeri ini. Saya mewakili kaum Tiong Hua ingin menyampaikan salam sayang mereka semua kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas inisiatif yang sangat baik oleh Kerajaan Negeri Johor yang inklusif dan holistik. Jutaan terima kasih Yang Amat Berhormat, xie xie ni Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, dengan izin.

Saya juga ingin menyampaikan bahawa pada Belanjawan 2025, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan belanjawan yang terbesar dalam sejarah negeri Johor untuk sektor kesihatan berjumlah RM10.76 juta berbanding Belanjawan Johor 2024 iaitu sebanyak RM5.742 juta. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas tahap keprihatinan yang tertinggi terhadap sistem kesihatan dan kemaslahatan Bangsa Johor. Keprihatinan ini juga terbukti apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar sanggup turun padang bagi melihat sendiri keadaan dan situasi yang berlaku di hospital dan klinik kesihatan awam di Johor ini dan sentiasa memberikan pandangan terhadap isu-isu kesihatan awam di Johor. Saya juga ingin memuji dan sentiasa menyokong tindakan Yang Amat Berhormat Dato Menteri Besar yang sentiasa mengambil pendekatan Whole of Goverment Approach yang tidak mengira sama ada agensi tersebut adalah agensi persekutuan apatah lagi agensi kerajaan negeri. Selagi Kerajaan Negeri boleh bantu, kita akan terus menghulurkan tangan kerana yang menjadi keutamaan adalah Bangsa Johor sendiri. Kuning emas masaknya padi, mewah merah dalam jambangan, terima kasih daun keladi, budi MB jadi kenangan.

Terima kasih kepada para ahli Dewan yang telah mengambil bahagian ketika sesi perbahasan dan sudah tentu saya telah mengikut rapat. Dalam perbahasan dan membangkitkan mengenai beberapa isu yang berkaitan dengan isu kesihatan antara adalah Kota Iskndar, Bentayan, Penggaram, Pekan Nanas, Johor Jaya, Gambir dan Senai dan Sedili. Terima kasih di atas keprihatinan semua Ahli-Ahli Dewan.Kerajaan Johor sentiasa komited dalam memastikan rakyat negeri ini menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh. Justeru, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Sidang Dewan yang mulia sekalian, pada tahun 2023, sebanyak 43 buah klinik kesihatan dan klinik desa telah dinaik taraf. Dan tahun 2024, sebanyak 55 buah klinik kesihatan dan klinik desa telah dinaik taraf dan ia termasuk beberapa klinik desa yang terletak dalam kawasan DUN Gambir. Bagi tahun 2025 pula, 45 buah klinik kesihatan dan klinik desa telah dikenal pasti, mudah-mudahan akan dapat peruntukan untuk dinaik taraf. Bagi projek naik taraf klinik desa daif di kawasan DUN Gambir, beberapa langkah telah diambil untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut. Pada tahun 2023, Klinik Desa Sawah Ring telah dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00. Usaha ini diteruskan pada tahun 2024 dengan kelulusan dan pelaksanaan projek naik taraf bagi Klinik Desa Simpang Lima, Pekan dengan kos sebanyak RM300,000.00, serta Klinik Desa Simpang Lima Darat dengan peruntukan RM600,000.00. Manakala pada tahun 2025, Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak telah mencadang kerja-kerja naik taraf bagi Klinik Kesihatan Bukit Gambir seperti kerja-kerja pembaikan dan yang menyeluruh yang akan memberi peruntukan yang besar.Mudah-mudahan dapat kelulusan, cadangan ini kini sedang menunggu kelulusan daripada pihak KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap perkembangan terkini berkenaan dengan permohonan ini dari KKM.

Di samping itu, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang kini sedang dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada Mac 2025 akan menyediakan sebanyak 304 katil yang akan memberi impak besar dalam menampung keperluan rawatan pesakit di kawasan Pasir

Gudang dan kawasan sekitar yang sangat memerlukan perkhidmatan hospital pada ketika ini, Selain mengurangkan kesesakan kritikal yang sedang berlaku di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah yang berada di dalam daerah Johor Bahru. Saya dan pasukan sentiasa memantau rapat perkembangan projek-projek ini kerana sedar akan kepentingannya kepada penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitar dan Bangsa Johor secara amnya.

Sidang Dewan sekalian, dalam usaha memastikan rakyat Johor menerima perkhidmatan kesihatan yang mudah di akses, pembinaan beberapa klinik kesihatan baharu turut dipercepatkan. Antaranya ialah Klinik Kesihatan Taman Cendana, Pasir Gudang yang dijangka siap pada Mac 2025 dengan kos pembinaan sebanyak RM35.3 juta dan dijangka mampu menampung kedatangan pesakit antara 500 hingga 800 orang setiap hari. Klinik Kesihatan Segamat juga dijangka siap pada bulan Mac tahun hadapan dengan kos RM26.1 juta dengan kapasiti yang sama. Sementara itu, Klinik Kesihatan Bandar Kota Tinggi dijadualkan siap pada Februari 2025 dengan kos RM24.6 juta dan Klinik Kesihatan ini boleh menampung kapasiti 300 hingga 500 pesakit setiap hari. Selain itu, ada 1 berita baik buat Bangsa Johor, iaitu pembinaan Klinik Kesihatan Parit Raja. (Dewan bertepuk). Dan Klinik Kesihatan Bandar Kluang yang terletak dalam kawasan DUN Mahkota yang baru-baru sahaja bagi salam 20,000 kini dalam proses tender dengan masing-masing dijangka mampu menampung antara 300 hingga 500 atau 500 hingga 800 pesakit setiap hari. Kerajaan Johor adalah sebuah kerajaan yang sentiasa cakna terhadap usaha untuk terus menambah baik keselesaan dan kecekapan fasiliti kesihatan awam di negeri ini.

Datuk Timbalan Speaker, ada beberapa YB ADUN telah membangkitkan berkenaan isu ambulan, di mana isu ambulan ini adalah isu yang sangat dekat di hati saya. Kerana saya juga menghadapi masalah yang sama di kawasan saya, di mana kadang-kadang ambulan ini mengambil masa 2 sehingga 4 jam untuk memberi respon terhadap satu-satu kes. Bayangkan Datuk Timbalan Speaker, dalam tempoh tersebut berlaku situasi yang kita tidak ingini, bagaimana kita semua sebagai Wakil Rakyat hendak menjawab kepada rakyat di kawasan. Apatah lagi kakitangan KKM yang juga terpaksa menghadapi marah rakyat disebabkan jumlah ambulan yang sangat terhad. Oleh itu, saya ingin menggalakkan orang ramai untuk menggunakan talian 999 sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan yang memerlukan khidmat ambulan kerana pada masa ini rangkaian perkhidmatan ambulan di Klinik Kesihatan sedia ada diintegrasikan dengan hospital melalui Medical Emergency Coordinating Centre (MECC). Di bawah rangkaian ini, perkhidmatan interfacility transfer boleh diperolehi untuk fasiliti kesihatan premier di lokasi strategik dan fasiliti yang mempunyai ambulan akan diaktifkan untuk memberi perkhidmatan respond pasukan ambulan kecemasan kepada komuniti sekeliling. Oleh itu, menyedari akan situasi yang sedang berlaku ini, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini bahawa negeri Johor bakal menerima 21 buah ambulan baharu yang akan diedarkan ke pelbagai klinik kesihatan di seluruh negeri untuk meningkatkan perkhidmatan kecemasan dan kesihatan kepada rakyat. Ambulan baharu ini akan memperkukuhkan jaringan perkhidmatan kecemasan khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan sokongan kesihatan yang lebih cekap dan pantas dan juga akan meringankan bebanan kakitangan yang bertugas. Maka, beberapa tindakan telah diambil bagi menguruskan isu ketidakcukupan perkhidmatan ambulan ini. Saya ingin mengumumkan antara klinik-klinik kesihatan yang bakal menerima sebuah ambulan untuk setiap klinik kesihatan.

Di daerah Muar, Klinik Kesihatan Maharani dan Klinik Kesihatan Seri Menanti. Di daerah Batu Pahat, Klinik Kesihatan Yong Peng dan juga Klinik Kesihatan Ayer Hitam, kawasan Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Di daerah Segamat, Klinik Kesihatan Segamat, Klinik Kesihatan Palong Timur, Klinik Kesihatan Bandar Putera. Di daerah Pontian pula, Klinik Kesihatan Pekan Nanas, Klinik Kesihatan Ayer Baloi dan Klinik Kesihatan Serkat. Di daerah Kota Tinggi, Klinik Kesihatan Penerok, Klinik Kesihatan Bandar Mas, Klinik Kesihatan Bandar Tenggara, Klinik Kesihatan Bukit Waha dan Klinik Kesihatan Bandar Penawar akan menerima ambulan tersebut. Bagi daerah Mersing, Klinik Kesihatan Jemaluang dan Klinik Kesihatan Tenggaroh 2 akan terima juga. Bagi daerah Kulai, Klinik Kesihatan Kulai akan menerima. Bagi daerah Kluang pula, Klinik Kesihatan Mengkibol akan menerima sebuah ambulan manakala Klinik Kesihatan Simpang Renggam akan menerima dua buah ambulan. Jumlah ambulan ini adalah tidak termasuk dengan ambulan yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ketika Belanjawan Johor 2025 iaitu sebanyak 4 buah ambulan tambahan dengan peruntukan RM2 juta yang akan ditempatkan di daerah Tangkak, Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi. Kerajaan Negeri Johor juga telah mengusahakan peruntukan tambahan bagi mendapatkan 3 buah ambulan tambahan untuk Klinik Kesihatan Majidee, Klinik Kesihatan Gelang Patah dan Klinik Kesihatan Tebrau. Maka, jumlah keseluruhan penerimaan ambulan di negeri Johor adalah 28 buah yang dijangka akan diterima pada tahun hadapan iaitu tahun 2025. Saya yakin usaha ini akan memberi manfaat besar kepada pengurusan logistik kesihatan awam di Johor. Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam merealisasikan inisiatif penambahan ambulan ini.

Selain daripada terimaan aset dan pembinaan fasiliti-fasiliti yang baharu, Kerajaan Johor telah melaksanakan beberapa inisiatif yang akan meneruskan inisiatif-inisiatif ini seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025. Seiring dengan komitmen tersebut, saya ingin berkongsi dengan Dewan yang mulia ini mengenai dua inisiatif utama yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan akses pesakit kepada perkhidmatan kesihatan iaitu ubat melalui pos UMP dan projek Locker For You. Perkhidmatan ubat melalui pos merupakan satu langkah inovatif yang membolehkan pesakit di negeri Johor yang menerima preskripsi ubat susulan mendapat bekalan ubat mereka secara percuma melalui penghantaran kurier.

Sejak 1 Ogos 2024, Kerajaan Negeri Johor telah memastikan bahawa perkhidmatan ini boleh dimanfaatkan sepenuh oleh pesakit di seluruh negeri. Setakat ini sebanyak 68 fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia di Johor termasuk 12 hospital dan 56 klinik kesihatan telah menyertai program ini dan mengikut data ubat melalui pos ini. Pada bulan Ogos tahun ini, terdapat sebanyak 9,016 pesakit yang telah menerima manfaat ini. Jumlah ini meningkat kepada 9,998 pesakit pada bulan September dan pada bulan Oktober terdapat 11,803 pesakit yang menerima manfaat ini. Yang ini adalah jumlah yang cukup besar yang ia juga telah meringankan bebanan fasiliti kesihatan awam. Perkhidmatan ini menggunakan perkhidmatan penghantaran pos laju yang kini meliputi seluruh kawasan di Johor termasuk kawasan pulau-pulau di daerah Mersing. Dengan adanya inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kemudahan dan akses kepada ubat-ubatan seterusnya membantu pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan untuk mendapat rawatan susulan tanpa perlu meninggalkan kediaman mereka.

Selain itu, kami juga memperkenalkan Projek Locker For You sebuah inisiatif yang bertujuan untuk memudahkan pesakit mengambil bekalan ubat susulan mereka dengan lebih efisien dan tanpa perlu beratur panjang di kaunter farmasi. Melalui Projek Locker For You, kami menyediakan kabinet-kabinet berkunci yang ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri yang membolehkan pesakit mengakses ubat mereka dengan mudah dan cepat. Projek ini telah dilaksanakan sejak tahun 2020 dan dengan kerjasama pelbagai pihak, kini terdapat 17 lokasi Locker For You di Johor termasuk 6 lokasi baru yang akan beroperasi pada Disember 2024 ini. Antaranya adalah di pusat membeli belah dan kemudahan awam yang mudah diakses oleh orang ramai. Dengan adanya perkhidmatan ini ianya dapat mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi, memberikan kemudahan kepada pesakit dan seterusnya memperbaiki pengurusan rawatan mereka. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, berikut

adalah senarai lokasi Pojek Locker For Your yang 6 lokasi baharu yang akan dimulakan pada Disember 2024 ini. Iaitu di AEON Taman Universiti, Lotus Bukit Indah, Paragon Market Place, Econsave Taman Teratai, Pelangi Leisure Mall, Lotus Kulai dan setiap tempat akan mengandungi 54 petak Locker For You.

Saya juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini, kepada statistik penggunaan perkhidmatan Locker For You yang menunjukkan trend peningkatan yang sangat positif. Dari Januari 2021 hingga September 2024 sebanyak 22,836 bungkusan ubat telah diambil oleh pesakit melalui projek ini. Dengan angka penggunaan yang semakin meningkat setiap tahun, pada 2021 adalah sebanyak 1,537. Tahun 2022 sebanyak 2,732, tahun 2023 sebanyak 9,336 dan tahun 2024 sebanyak 9,236 bungkusan ubat telah berjaya diambil oleh pesakit melalui Locker For You. Dan ini menunjukkan bahawa inisiatif ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada rakyat Johor. Dengan penambahan 6 lagi lokasi Locker For You pada tahun 2024, kami berharap dapat memperluaskan lagi capaian perkhidmatan ini dan memberikan lebih banyak kemudahan kepada pesakit. Datuk Timbalan Speaker, segala usaha ini adalah cerminan iltizam Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan sistem kesihatan yang lebih baik dan cekap dapat dinikmati oleh seluruh rakyat dengan semangat Johor yang kita pegang. Kita akan terus berusaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Datuk Timbalan Speaker, saya telah meneliti perbahasan daripada YB Simpang Jeram, di mana YB Simpang Jeram ada memberi penekanan mengenai peranti rokok elektronik iaitu vape yang semakin membimbangkan apabila munculnya perisa-perisa baharu seperti magic mushroom yang dikhuatiri akan menyebabkan penagihan dalam kalangan rakyat. Untuk makluman sidang Dewan sekalian, dengan pindaan Akta 852, saya bersama dengan pihak JKNJ dan juga bersama-sama dengan agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Johor sentiasa bergerak secara proaktif dan memastikan penyalahgunaan dadah di negeri ini dalam terkawal secara total. Baru-baru ini juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM240,000.00 untuk mencegah dan mengawal penularan ancaman dadah.

Saya mengambil maklum mengenai perbahasan beberapa Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan beberapa perkara mengenai alam sekitar dan tenaga hijau. Antaranya adalah Yang Berhormat Stulang, Sungai Balang, Permas, Kota Iskandar, Bentayan, Penggaram, Pemanis, Tangkak, Panti, Tenang, Puteri Wangsa dan Endau. Untuk makluman Ahli Dewan sekalian, pada ketika ini pihak Permodalan Darul Ta’zim (PDT) bersama pasukan kajian Universiti Teknologi Malaysia telah menyediakan deraf akhir bagi Polisi Pembangunan Hijau Johor 2030 dan Garis Panduan Perancang Dan Pembangunan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik Johor yang akan dibawa ke Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor bagi diguna pakai. Ketika ini, kedua-dua dokumen tersebut telah mengambil kira pandangan jabatan ataupun agensi teknikal serta Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor. Melalui platform perbincangan di peringkat jawatankuasa kerja mobiliti dan pengangkutan yang diurusetiakan oleh pihak PLANMalaysia Johor.

Bilangan petak pengecasan sedia ada sehingga September 2024 di seluruh negeri Johor adalah sebanyak 337 unit di mana Majlis Bandaraya Iskandar Puteri sebanyak 142 unit dan Majlis Bandaraya Johor Bahru sebanyak 105 unit. Mencatatkan angka tertinggi penyediaan semasa petak pengecasan bagi memenuhi permintaan khususnya di daerah Johor Bahru. Dan bilangan sasaran penyediaan petak pengecasan kenderaan elektrik sebanyak 1,245 unit di seluruh negeri Johor menjelang tahun 2030 adalah berdasarkan keperluan yang dijangka tinggi hasil impak pelaksanaan polisi daripada negara Singapura yang melaksanakan sepenuhnya penggunaan kenderaan bukan petrol bagi perjalanan keluar masuk di negara tersebut mulai 2030 nanti. Saya juga ingin memaklumkan bahawa cadangan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) seperti tenaga solar telah dijelaskan secara terperinci melalui draf akhir Polisi Tenaga Boleh Baharu Johor 2030 yang turut disediakan oleh pihak PBT dan kerjasama pasukan kajian UTM. Dari aspek penyediaan

infrastruktur EV, terdapat cadangan untuk membangunkan 9 hab pengecasan dengan menggunakan tenaga solar sebagai sumber elektrik dan cadangan ini dilihat sebagai langkah mempromosikan kelestarian dengan mengguna sumber tenaga bersih.

Ok, oleh itu memandangkan masa telah mencemburui kita, saya mengakhiri penggulungan saya sebagai EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan harapan saya bagi tahun 2025, tahun ini akan menjadi tahun penting dalam usaha kita untuk memperkukuhkan dan memperluaskan lagi inisiatif-inisiatif yang telah dimulakan oleh kerajaan negeri Johor terutamanya dalam bidang kesihatan dan alam sekitar. Mencari tin besi anak dara, di bawah sarang burung tempua, salam Maju Johor penutup bicara, terima kasih kepada semua. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Yong Peng, tahniah. Dijemput, Yang Berhormat Serom.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberikan ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2025. Dengan hormat dan penuh takzimnya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan pada tanggal 22 November yang lalu. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga sentiasa dirahmati dan diberikan kesihatan yang berpanjangan sekalian serta kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat DiRaja bagi mentadbir rakyat di bawah negeri Johor. Daulat Tuanku. Patik juga merafak sembah takzim menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan idea bernas yang sentiasa dicurahkan kepada kepimpinan negeri Johor demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat Johor. Patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleda Johor yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal berkaitan kanak-kanak dan OKU khususnya di negeri Johor. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah mentadbir kerajaan dengan begitu baik dan cekap serta membentangkan Belanjawan 2025 dengan bertemakan “Maju Johor Rakyat Sejahtera” yang berpaksikan 6 Teras yang merangkumi 244 Inisiatif. Anak bulus di luar pagar, umpan ikan diberi makan, bajet lulus semua segar, rakyat diraikan penuh sokongan.

Datuk Speaker, saya teruskan penggulungan dengan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Bentayan, Maharani dan Kempas. Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti ialah sebuah pertubuhan yang melaksanakan program pemulihan dalam komuniti yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1996, mempunyai perundangannya tersendiri dan adalah berbeza dengan entiti kerajaan. Secara amnya pertubuhan bebas untuk mentadbir mengikut perlembagaan, penetapan waktu bekerja dan elaun tambahan yang difikirkan sesuai. Dimaklumkan juga Dewan yang mulia ini bahawa penyelia dan petugas di PKPDK ini dilantik oleh Jawatankuasa Pertubuhan dan bertugas secara sukarela di pusat PDK atau di rumah.

Bagi menghargai penglibatan penyelia dan petugas sebagai sukarelawan di bawah seliaan pertubuhan dalam menjayakan program pemulihan dalam komuniti, elaun dibayar kepada mereka berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan. Ini bermakna mereka tidak terikat dengan gaji minimum sebagai pekerja. Pertubuhan boleh membuat penetapan mengenai bayaran tambahan kepada penyelia dan petugas PKPDK bergantung kepada kaedah pengambilan penyelia dan petugas oleh pertubuhan itu sendiri sama ada secara

contract of service atau secara contract for service, dengan izin. Bagi contract of service seeorang itu dibayar untuk sesuatu tugasan dan tiada syarat perkhidmatan ditetapkan, manakala contract for service ialah pertubuhan sebagai majikan kepada penyelia dan petugas tersebut. Penyelia dan petugas pula adalah sebagai pekerja kepada majikan. Sebagai majikan, pertubuhan boleh membuat apa-apa penetapan mengenai apa-apa syarat perkhidmatan, mengenai tempoh bekerja dan tambahan elaun yang difikirkan perlu dan sesuai.

Ahli-Ahli Dewan yang dihormati, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin dan telah menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih PKPDK di negeri Johor. Pada pembentangan bajet Kerajaan Persekutuan tahun 2021, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan sagu hati kepada penyelia dan petugas PDK. Sehubungan dengan itu, Mac 2021 kadar saguhati yang diterima oleh penyelia telah dinaikkan dari RM1,200.00 sebulan kepada RM1,500.00 sebulan sementara elaun yang diterima oleh petugas adalah sebanyak RM1,200.00 berbanding RM800.00 sebelum ini. Kerajaan Negeri Johor pula merupakan kerajaan yang sentiasa mengambil berat tentang kebajikan penyelia dan petugas PKPDK yang mana mulai tahun 2015 sebanyak RM200.000 sebulan telah dibayar kepada setiap penyelia dan petugas sebagai tambahan elaun yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, jumlah keseluruhan elaun yang diterima oleh penyelia adalah sebanyak RM1,700.00 sebulan dan petugas adalah sebanyak RM1,400.00 sebulan berbanding negeri-negeri lain yang mana mereka hanya menerima sebanyak RM1,500.00 bagi penyelia dan RM1,200.00 bagi petugas.

Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini juga, selain dari tambahan elaun petugas dan penyelia PKPDK setiap bulan, Kerajaan Negeri Johor juga telah memberi bantuan khas kerajaan yang dibayar sekali gus pada setiap tahun mengikut kadar yang telah ditetapkan sebagai tanda penghargaan ke atas jasa dan sumbangan khidmat bakti mereka kepada komuniti OKU khasnya. Pada tahun 2022, penyelia dan petugas PK PDK telah menerima bantuan khas Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM1,000.00 seorang dan bantuan khas hari raya juga sebanyak RM1,000.00 seorang yang menjadikan tahun 2022 menerima bantuan khas sebanyak RM851,000.00. Pada tahun 2023 pula, kerajaan, mereka juga telah menerima bantuan khas kewangan serta bantuan khas raya Kerajaan Negeri Johor sebanyak RM2,000.00 seorang dengan peruntukan pada tahun 2023 sebanyak RM842,000.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi tahun 2024 pula penyelia dan petugas PK PDK di seluruh negeri Johor telah menerima sebanyak RM3,500.00 seorang menjadikan jumlah keseluruhan bantuan khas negeri Johor pada tahun 2024 adalah sebanyak RM1,416,500.00. Walau bagaimanapun, selaras dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat tiada sebarang halangan sekiranya terdapat keperluan untuk memberi tambahan kenaikan elaun kepada penyelia dan petugas PKPDK. Namun perkara ini perlu diteliti dan diperhalusi dengan lebih lanjut bersama dengan kerajaan negeri demi kesejahteraan penyelia dan petugas PKPDK negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Pemanis di atas keprihatinan Yang Berhormat terhadap rakyat yang sering ditimpa bencana. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin dengan keperluan tambahan yang diperlukan oleh penerima bantuan JKM sedia ada. Selain daripada pemberian bantuan bulanan JKM, JKM juga turut menyalurkan bantuan sekaligus mengikut keperluan masyarakat yang berkelayakan.

Tabung Bantuan Segera (TBS) merupakan bantuan sekali gus diberikan kepada masyarakat berkeperluan merujuk kepada kelayakan permohonanan. TBS ini berperanan sebagai bantuan serta-merta, bantuan segera melalui aktiviti, program pendampingan sosial atau

outreach program, dengan izin, bayaran pertama bagi bantuan bulanan, bayaran balik bantuan refund, mangsa bencana kecil, terpencil, kes terdampar dan bantuan sekali gus bagi kes yang memerlukan peruntukan kewangan kerajaan persekutuan. Bantuan TBS ini yang ditetapkan adalah wang tunai atau barangan makanan atau kedua-duanya dengan jumlah maksimum sebanyak RM300.00. Pegawai yang diberi kuasa boleh menentukan kadar yang bersesuaian mengikut keperluan kes selagi tidak melebihi kadar maksimum TBS. Bagi kes bayaran pertama refund, kadar bayaran adalah berdasarkan jenis kadar bantuan yang diluluskan. Permohonan TBS perlu menggunakan Borang Tabung Bantuan Segera melalui sistem e-Bantuan, JKM.

Selain itu, JKM juga menyalurkan bantuan jangka pendek, bantuan jangka panjang dengan menggunakan peruntukan bantuan mala petaka kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana ini. Bantuan ini disalurkan menggunakan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri. Bantuan jangka pendek diselaraskan kepada mangsa bencana sebanyak RM300.00 sekeluarga sekali gus manakala bantuan jangka panjang adalah bantuan membaiki rumah mengikut kadar iaitu bagi tahap kerosakan 100 peratus untuk status kediaman sendiri, kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM3,000.00; bagi tahap kerosakan 50 peratus untuk kediaman sendiri, kadar bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM1,500.00; bagi tahap kerosakan 49 peratus ke bawah adalah status kediaman sendiri, kadar bantuan yang diberikan adalah RM500.00.

Bantuan TBS atau bencana negeri perlu memenuhi prosedur kewangan yang telah ditetapkan dan di antaranya seperti berikut; pegawai diberi kuasa untuk memastikan peruntukan dan tunai panjar mencukupi bagi pembayaran TBS, penyediaan baucar kecil atas nama pegawai kes di dalam sistem kewangan dan mengikut agihan pada klien dengan segera, klien perlu menandatangani dan atau cap jari pada bantuan akaun penerimaan bantuan TBS, memastikan setiap baucar kecil mempunyai dokumen sokongan yang lengkap dan teratur jabatan untuk membuat rekupmen jika baki panjar tidak mencukupi dan penerimaan rekupmen hendaklah diluluskan dengan bulan yang sama ianya disediakan. Jabatan perlu memastikan prosedur penyimpan wang tunai panjar khas mengikut Arahan Perbendaharaan 126 dan 127.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Bentayan. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menyantuni rakyat yang memerlukan dan melihat kepada peningkatan taraf hidup semasa. Penyaluran bantuan kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta setiap kelompok masayarakat disantuni dengan sebaik mungkin mengikut keperluan. Kajian turut dilaksanakan bagi memastikan syarat kelayakan serta pemberian kadar bantuan bulanan yang diberikan memenuhi keperluan masyarakat.

Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, bantuan warga emas dinaikkan kadar daripada RM500.000 kepada RM600.00 sebulan. Kerajaan Negeri Johor juga melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyalurkan bantuan bulanan kepada penerima bantuan dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Bagi agihan peruntukan kewangan Kerajaan Negeri, penyaluran bantuan kepada pemohon yang layak akan mendapat bantuan am secara bulanan dalam tempoh setahun selepas kelulusan permohonan dan perlu membuat permohonan lanjutan untuk siasatan pegawai JKM bagi lanjutan bantuan.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2021, kadar bantuan am telah dilaksanakan dengan kadar dinaikkan daripada RM200.00 kepada RM300.00 sebulan dan kadar ini masih diguna pakai oleh JKM dan berkuatkuasa hingga hari ini. Cadangan dan keperluan penambahbaikan kadar jumlah bantuan am di bawah Kerajaan Negeri Johor dinaikkan daripada RM300.00 ke RM500.00 itu akan diperhalusi di peringkat jabatan bersama dengan kerajaan negeri memandangkan keperluan hidup masyarakat perlu seiring dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Burung kenari riang berkicau, terbang tinggi mencari seri; semua dirancang tak perlu risau, rakyat Johor tetapi priority.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Skudai atas keprihatinan terhadap kesihatan mental yang saya kira tidak asing lagi pada masa kini. Bagi menyambut baik cadangan Yang Berhormat, Mind-X itu di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sangat aktif dalam memberikan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada masyarakat di negeri Johor. Salah satu usaha yang telah dijalankan sejak tahun 2023 adalah melalui Carevan Mind-X yang di mana kami telah turun ke lapangan dengan mengadakan aktiviti bersama masyarakat setempat di 10 daerah yang ada negeri Johor.

Pada tahun hadapan, Mind-X akan akan menubuhkan satu skuad iaitu komuniti sebagai sukarelawan, orang tengah atau perantara melalui Modul Mind-X yang lengkap bagi tujuan latihan sukarelawan kepada komuniti. Pada tahun 2025 Mind-X akan lebih fokus dalam pencarian skuad daripada 56 DUN dan seramai 280 skuad Mind-X akan dipilih untuk mengikuti training of trainers, dengan izin, yang akan dijalankan oleh pihak Mind-X sebelum dihantar untuk melakukan projek atau program di komuniti. Tambahan pula, berkenaan perkhidmatan psikologi dan kaunseling masyarakat awam boleh menghubungi pejabat YPKDT dengan melayari laman web YPKDT untuk mendapatkan perkhidmatan serta aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan, akan kami maklumkan di laman sosial media Mind-X. Mind-X juga menerima dengan hati terbuka sekiranya terdapat agensi luar atau NGO yang mahu berkolaborasi bersama kami untuk mencapai tujuan yang sama dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Endau atas keprihatinan terhadap petugas sukarelawan JKM. Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa mengambil berat berkaitan petugas sukarelawan JKM yang sentiasa membantu mangsa bencana di lapangan terutamanya pusat pemindahan sementara. Komitmen yang tinggi dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat tidak mengira bangsa dan agama serta setiap kelompok masyarakat disantuni dengan sebaiknya mengikut keperluan. JKM sangat menggalakkan ahli masyarakat yang menjadi ahli sukarelawan JKM dengan berdaftar melalui sistem e-Komuniti bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam kerja kemasyarakatan dan memupuk semangat tolong menolong dan budaya ikram sejajar dengan dasar kebajikan masyarakat.

Sukarelawan JKM terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh jabatan, antaranya perkhidmatan sokongan sosial, bimbingan dan kaunseling, khidmat pemulihan kesihatan, pendidikan moral dan akademik, program keagamaan, sukan, kebudayaan dan kesenian, penempatan pekerjaan, memberi perkhidmatan bagi program khidmat bantu di rumah atau home help services, dengan izin, dengan libat urus pengurusan bencana di PPS.

Ahli-Ahli Dewan yang dimuliakan, jabatan menyambut baik cadangan pemberian elaun kepada sukarelawan JKM sebagai penghargaan kepada mereka yang sentiasa memberi sumbang bakti, pengorbanan masa dan tenaga dalam membantu menguruskan masyarakat tanpa mengira waktu. Namun begitu, cadangan ini juga perlu diperhalusi di peringkat jabatan dan kerajaan negeri mahu pun persekutuan dengan mengambil kira implikasi kewangan melibatkan sukarelawan seluruh negara. Jabatan juga mengadakan pelbagai aktiviti, inisiatif dalam menghargai sumbangan dan penglibatan sukarelawan ini antaranya adalah penyampaian anugerah sukarelawan JKM cemerlang di peringkat negeri dan kebangsaan, pelaksanaan pelbagai kursus, bengkel, taklimat dan program. Moga-moga usaha gigih dan penat lelah sukarelawan ini sentiasa berbakti kepada masyarakat tanpa mengharapkan balasan wang ringgit mendapat perhatian kerajaan.

Terima kasih Yang Berhormat Mahkota atas prihatin terhadap golongan OKU. Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008, orang kurang upaya (OKU) ditakrifkan sebagai mereka yang memerlukan, mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Golongan OKU adalah sebahagian daripada penduduk dunia dan mereka seterusnya menikmati kehidupan yang sama seperti

orang upaya atas dasar hak kesaksamaan. Malaysia telah merektifikasi konvensyen mengenai hak untuk OKU atau Convensyen of Rights of Person With Disabilities (CRPD) pada Julai, 2010 sebagai komitmen untuk menjamin OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya dalam semua aspek kehidupan accesbility, mobility, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosiobudaya. Berikut adalah objektif penubuhan MTOJ, mencipta masyarakat inklusif di mana OKU memiliki kesempatan yang sama dan akses yang lebih baik dalam semua aspek. Memberikan peluang pendidikan, pekerjaan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang setara dalam usaha menekankan pembudayaan OKU untuk mencapai potensi maksima, meningkatkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan pembuat keputusan. Sehubungan dengan itu, sebagai sebuah negeri yang peduli rakyat, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya yang akan berperanan sebagai sebuah badan untuk membantu kerajaan negeri bagi merancang, memantau dan memberi saranan terhadap penambahbaikan OKU negeri Johor, disamping penambahbaikan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan yang sedia ada.

Penubuhan ini turut menzahirkan sokongan dan prihatin kerajaan negeri dalam mengiktiraf golongan Orang Kurang Upaya di Johor agar dapat berperanan secara positif di dalam arus pembangunan negeri serta membantu kerajaan negeri bagi memantau dan memberi saranan penambahbaikan demi kesejahteraan masyarakat OKU di negeri Johor. Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan penubuhan ini sedang dalam penelitian dan perincian daripada pelbagai agensi terlibat termasuk Kerajaan Negeri Johor. Sekiranya tiada sebarang isu berbangkit, penubuhan ini akan dilaksanakan seberapa segera mungkin demi kebajikan OKU negeri Johor.

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Naning yang mengambil berat tentang isu kebajikan warga emas. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM17 juta untuk penubuhan PAWE baharu mulai tahun 2018, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, hingga Jun 2024, terdapat 164 buah PAWE yang telah ditubuhkan, seramai 77,378 orang ahli berdaftar yang terdiri daripada warga emas pelbagai bangsa dan agama telah terlibat secara aktif di PAWE di seluruh Malaysia. Kerajaan mensasarkan menjelang tahun 2030, Malaysia akan mempunyai sebanyak 220 PAWE keseluruhannya. Kerajaan benar-benar ingin memastikan agenda ke arah penuaan sihat, aktif dan produktif dapat terus dilaksanakan dan ini adalah selari dengan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2021. Di negeri Johor, pada tahun 2025 sebanyak 5 buah PAWE baharu akan ditubuhkan dan salah satu daripadanya di Parlimen Bakri, Muar dan di DUN Bukit Naning.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor juga telah menerima kertas cadangan permohonan daripada pihak jawatankuasa penaja bagi penubuhan PAWE tersebut bagi tahun 2025 dan akan dikemukakan kepada Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penubuhan PAWE 2025. Setiap PAWE baharu yang diluluskan, penubuhan akan menerima peruntukan sebanyak RM100,000.00 untuk pengubahsuaian premis, pembelian perabot dan kelengkapan premis, pembelian peralatan senaman, kemudahan IT dan deposit utiliti.

Yang Berhormat, kerajaan juga melalui Kementerian mengambil langkah proaktif mewujudkan satu inisiatif baharu untuk pelaksanaan tahun 2015 iaitu Program Pemerkasaan Warga Emas PAWE 3A bagi tujuan pemerkasa warga emas dalam komuniti. Program ini dilaksanakan oleh pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi melaksanakan program atau aktiviti pemerkasaan warga emas atau masyarakat tanpa terikat kepada mana-mana premis dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa iaitu any time, any where, any place, dengan izin. Konsep ini memberi peluang kepada semua Pertubuhan Sukarela (PSK) untuk menjalankan Program Pemerkasaan Warga Emas dalam lokaliti masing-masing secara lebih fleksibel tanpa terikat pada premis atau waktu tertentu terutama di kawasan yang mempunyai populasi warga emas dan tidak

mempunyai kemudahan pusat aktiviti warga emas dan ianya diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada warga emas menjalankan aktiviti bersama komuniti dengan menekankan elemen program berteraskan komuniti intergenerasi dan interaktif.

Saya teruskan juga kepada Yang Berhormat Kahang, Program Inisiatif Bantu Keluarga dan Masyarakat (i-BERKAT) merupakan salah satu inisiatif di bawah Bantuan Kasih Bangsa Johor yang dilaksanakan di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim hingga tahun 2023. Program ini adalah untuk menyantuni dan meringankan beban golongan sasar iaitu terdiri daripada kalangan Orang Korang Upaya, warga emas, ibu tunggal, B40 serta pesakit kronik yang terlantar yang merangkumi seluruh peringkat umur dan pelbagai bangsa dan kaum melalui penyampaian barangan, sokongan kesihatan yang diperlukan. Dalam tempoh 2 tahun pelaksanaanya, seramai 3,942 orang telah mendapat manfaat dalam program ini. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat, kerajaan negeri tidak lagi meneruskan program ini kerana ada beberapa agensi lain yang turut memberikan inisiatif yang sama seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam untuk yang beragam Islam, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah. Justeru itu, sebarang bantuan sokongan kesihatan ini bolehlah berhubung secara langsung kepada kedua-dua agensi ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masa juga sangat mencemburui Persidangan Dewan yang mulia ini. Setakat ini sahaja yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini, terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan melibatkan jabatan di bawah protfolio saya. Terdapat beberapa soalan yang masih saya tak sempat jawab, walau bagaimanapun saya memastikan setiap soalan yang berbangkit pada pihak Ahli Yang Berhormat itu yang saya tidak sempat jawab dan bahas hari ini, saya berikan secara bertulis dan saya serta jabatan serta agensi di bawah portfolio saya mengalu-alukan dan komited segala bentuk pandangan, idea dan cadangan dari Ahli-Ahli Dewan yang saya kasihi sekalian.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi, ketua jabatan dan kakitangan pejabat di bawah portfolio saya yang sentiasa bertungkus lumus dan siap sedia dengan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sebelum saya akhiri penggulungan saya hari ini, saya sampaikan serangkap pantun, kuih keria manis bersira, makan bersama secawan kopi, wanita hebat keluarga ceria, masyarakat harmoni semua happy. (Dewan bertepuk). Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Serom, seterusnya dijemput Yang Berhormat Tenggaroh.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera, salam Bangsa Johor dan salam maju Johor. Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi Penggulungan Perbahasan Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2025, Penggal Persidangan Yang Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Dikesempatan ini patik ingin merafak ucapan sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan pada tanggal 22 November yang lalu. Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kebijaksanaan, kekuatan dan keafiatan dalam menaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor sekalian. Daulat Tuanku.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas pada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri yang telah mengumumkan Belanjawan Johor 2025 dengan jayanya. Buah berangan di rumpun pisang, sayang merbah dipohon cemara, Ahli Dewan selamat bersidang, giliran saya bermula bicara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mengimbas pembentangan Belanjawan Malaysia 2025, saya mengucapkan terima kasih kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di atas beberapa pengumuman yang berkaitan dengan portfolio saya yang sekaligus memberi manfaat kepada Bangsa Johor secara langsung atau dan tidak langsung. Pertamanya mengenai Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi penganjuran acara seni budaya sebanyak RM30 juta, seterusnya Galakan Aktiviti Seni Budaya dan Warisan, geran sebanyak RM5 juta, mempromosikan budaya dan seni menerusi makanan dan warisan, sebanyak RM5 juta dan menggalakkan pembangunan komuniti kraftangan dan batik sebanyak RM5 juta. Walaupun pengumuman ini sebenarnya adalah untuk pembangunan di seluruh negara tetapi besarlah harapan saya agar pemain-pemain industri seni, warisan dan budaya di negeri Johor dapat mengambil peluang bagi perkembangan sektor seni warisan dan budaya di negeri ini.

Bagi Portfolio Perpaduan pula, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Program Perpaduan Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri iaitu sebanyak RM50 juta, RM20 juta bagi memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai penghubung jalin dalam komuniti dan RM10 juta bagi pembaikan dan penyelenggaraan premis Perpaduan bagi meningkatkan perkhidmatan awam kepada rakyat. Saya berharap pengumuman Portfolio Perpaduan ini dapat membantu pemegang taruh dalam sektor ini. Dan menyentuh pada Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tempoh hari, saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas peruntukan bajet bagi Portfolio Perpaduan, Warisan dan Budaya.

Yang Berhormat Datuk Sepaker, bermula daripada konteks warisan dan budaya kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.8 juta bagi pembukaan Taman Botanik Diraja, Istana Besar dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan. Kerja asas untuk inisiatif telah bermula pada tahun ini dengan sinergi bersama antara Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Pengangkutan Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor dan porftfolio saya.

Selain itu, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja restorasi Muzium Tokoh, sebuah lagi bangunan yang bersejarah yang merupakan monumen penting pada awal pentadbiran negeri Johor. Saya percaya dengan pembukaan monumen-monumen bersejarah ini, ia akan menjadikan daya tarikan pelancongan yang ramai dan membantu mencapai sasaran kedatangan 12 juta pelancong ke negeri Johor pada tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor nanti.

Bagi menyemarakkan rakan budaya dan warisan buat Bangsa Johor, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah memperuntukkan RM812,000.00 bagi merakyatkan Seni Budaya Johor yang akan dilaksanakan melalui Yayasan Warisan Johor. Menerusi inisiatif ini, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar atau KWSAB yang lebih dikenali, Yayasan Warisan Johor akan mula dibuka pada hujung minggu bermula tahun 2025 bagi membolehkan Bangsa Johor dan pelancong yang datang menikmati persembahan kebudayaan Johor. Warga Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar menyambut baik perancangan kerajaan negeri dalam merakyatkan Seni Budaya Johor di mana KWSAB akan dibuka pada hujung minggu bermula pada tahun 2025 sepertimana yang diumumkan tempoh hari. Dengan itu, aktiviti-aktiviti latihan zapin sedang giat, sedang digiatkan dengan kelas bimbingan tarian zapin yang akan dilaksanakan secara berkala di setiap daerah. Begitu juga dengan penyambungan pelantikan Pembantu Jurulatih Tari Daerah untuk sesi 2025 dan 26 dan kolaborasi khas bersama pusat komersial di setiap daerah sebagai penyedia ruang dan lokasi bagi slot pembelajaran zapin. Persediaan-persediaan ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri.

Selain itu, persembangan kebudayaan pada hujung minggu akan melibatkan tambahan tenaga kerja seperti artis budaya, pemuzik dan krew seramai 20 orang yang akan dibuka melalui Majlis Kebudayaan Negeri Johor dengan Program Bakat Seni Budaya di kalangan penggiat seni tari. Manakala program inisiatif Panggung Sahmura @ Kompleks Warisan Abu Bakar pada tahun 2025 mensasarkan kolaborasi strategik bersama 12 buah kumpulan kebudayaan di negeri Johor sebagai langkah proaktif mengisi penawaran aktiviti atau program hujung minggu dalam segmen seni dan budaya meniti Tahun Melawat Johor 2026. Begitu juga dengan inisiatif-inisiatif di daerah-daerah. Melalui Majlis Kebudayaan Negeri Johor juga telah disampaikan bantuan teknikal sistem audio kepada 10 daerah bagi membantu kumpulan penggiat seni dan budaya untuk persembahan hujung minggu di daerah masing-masing. Ini sekaligus menjadikan kebudayaan di daerah-daerah juga sama sama disambut baik seperti mana yang dihasratkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, persediaan Yayasan Warisan Johor dangan program-program berimpak tinggi pada tahun 2024 ini sehingga ke Tahun Melawat Johor 2026 sangat memberi kesan dengan kedatangan-kedatangan pelancong ke KWSAB. Adakah KWSAB menerima Bangsa Johor dan pelancong datang dan menikmati persembahan kebudayaan ini? Sehingga kini, data pengunjung sehingga Oktober, pengunjung yang telah melawat ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar adalah sebanyak 113,557 pengunjung kita berbanding tahun 2023 kita hanya mencecah 70,608 pengunjung. Saya yakin bagi tahun 2025 dan 2026, KPI pengunjung akan bertambah di KWSAB setelah susunan program persembahan hujung minggu distrategikkan bersama penggiat-penggiat seni.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya adalah RM1 juta juga diperuntukkan bagi Festival Zapin Rakyat Johor. Inisiatif ini bertujuan untuk mengekalkan dan mengembangkan seni tarian zapin kepada segenap lapisan Bangsa Johor melalui penglibatan kumpulan sasar bermula daripada pra sekolah, sekolah rendah, menengah serta golongan belia dan dewasa. Menyentuh pada perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pertama-tamanya saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat ADUN Pemanis kerana telah dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor baru-baru ini. Justeru, dengan lantikan baru Ahli-Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Johor ia dapat terus menaikkan semangat kebudayaan negeri Johor bagi menyambut baik dengan program-program berimpak tinggi bagi Tahun Melawat Johor 2026. Tahun ini saya lihat dan saksikan dengan sambutan hangat Festival Zapin Rakyat Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar yang penuh padat dan penuh dengan penonton-penonton luar yang hadir ke sana seperti semangatnya menonton perlawanan JDT match.

Penganjuran Festival Tari Rakyat Johor merupakan antara impak paling besar serta antara program tahunan yang sangat dinantikan oleh penggiat seni budaya seluruh negeri Johor. Tidak mengira kaum dengan penglibatan keseluruhan adalah sebanyak 256 kumpulan yang membawa seramai 3,840 orang peserta ke pentas pertandingan di peringkat daerah pada tahun 2024. Antara kategori yang dipertandingkan adalah Zapin Kategori Pra Skolah, Zapin Kategori Sekolah Rendah, Zapin Kategori Sekolah Menengah, Zapin Kategori Pelbagai Etnik yang melibatkan masyarakat bukan Melayu, Zapin Kategori Badan Kerajaan yang melibatkan kakitangan kerajaan, Zapin Terbuka A iaitu yang melibatkan kumpulan negeri Johor iringan muzik secara live. Zapin Terbuka Kategori B yang melibatkan kumpulan luar dan dalam negeri Johor. Kategori Tarian Kaum Cina, Kategori Tarian Kaum India, Kategori TikTok Challenge yang melibatkan penglibatan tempatan dan antarabangsa dan Kategori Video Pendek Zapin. Sehingga ke peringkat akhir negeri, sebanyak 37 kumpulan mewakili 10 daerah dengan penglibatan hampir seramai 555 orang yang berjaya.

Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan wakil kategori pelbagai etnik untuk zapin daripada 10 daerah di negeri Johor yang melibatkan pelajar daripada pelbagai kaum iaitu Cina, India dan Orang Asli dan dengan seramai 150 orang yang hadir dan bertanding untuk kategori tersebut. Manakala, tarian tradisional kaum India terdapat 4 kumpulan dan kaum Cina terdapat 11 kumpulan. Turut dipertandingkan dan ia mamaparkan kepelbagaian,

kemeriahan dan keunikan daripada persembahan masing-masing. Melalui penganjuran program ini, ia akan diteruskan dan dimeriahkan dengan sambutan sempena Tahun Melawat Johor 2026 bukan hanya di peringkat negeri Johor malahan di peringkat daerah. Majlis Kebudayaan Negeri Johor merupakan entiti yang penting dalam festival ini dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah. Jalinan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan MKD daerah sangatlah penting dalam festival-festival kebudayaan yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh bagi Portfolio Perpaduan pula, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pengumuman bajet sebanyak RM600,000.00 bagi Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga bagi menjalankan aktiviti-aktiviti di KRT di negeri Johor. Selain itu, RM400,000.00 diperuntukkan bagi Program Sinergi Anak Johor bagi menyemarak nilai perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor. Inisiatif-inisiatif ini akan membantu dalam membentuk asas yang kukuh untuk pembangunan Bangsa Johor yang progresif di mana setiap individu merasa diterima dan dihargai dalam sebuah komuniti yang inklusif. Pada tahun ini, untuk memastikan nilai-nilai murni ini diterapkan sebati dalam jiwa masyarakat, Program Silang Budaya Johor diperkenalkan agar setiap lapisan masyarakat dapat merasai, memahami, menghormati dan menerima perbezaan antara kaum untuk hidup dengan harmoni di negara ini. Program Silang Budaya Johor telah dijalankan kepada 2 kategori iaitu peringkat sekolah dan peringkat dewasa. Kerjasama bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah memperkenalkan Program Silang Budaya berteraskan tradisi Johor di sekolah-sekolah dari Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Kebangsaan dan program ini telah dijalankan di satu sekolah daripada setiap 56 DUN di negeri Johor. Pengisian Program Silang Budaya ini merangkumi pendekatan moral dan sivik, budaya dan adat resam serta kenegaraan.

Seterusnya, Program Keselamatan Sosial dan Kejiranan kepada 1,000 ahli SRS juga telah dijalankan untuk mereka memberi bantuan awal jika berlaku bencana dalam komuniti melibatkan peronda SRS, skuad uniti dan mediator komuniti. Program ini bertujuan untuk memperkasa peranan dan tanggungjawab rukun tetangga sebagai sebuah institut sosial dalam membantu mengurus konflik dan membendung kegiatan jenayah serta gejala sosial dalam kawasan kejiranan serta mengukur jaringan kerjasama strategik antara agensi yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Lagi satu inisiatif daripada Kerajaan Negeri adalah program keamanan antara penganut agama melalui Program Interfaith Harmony yang akan dilaksanakan bersama komuniti berbilang agama yang merangkumi program dan aktiviti seperti menyantuni perayaan pelbagai kaum di negeri Johor. Setiap program dan aktiviti melibatkan kumpulan sasar ahli komuniti dari usia belia hingga ke golongan warga emas serta golongan kelainan upaya kerana perpaduan di Malaysia khususnya di Johor adalah milik bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas pengumuman sejumlah RM12 juta peruntukan bagi menyantuni masyarakat Tiong Hua dan India melalui Yayasan Sultanah Fatimah, Yayasan Sultanah Rogayah dan NGO-NGO lain untuk memperluaskan jaringan bantuan kebajikan kepada golongan rentan dan memperkukuhkan kesejahteraan sosial. Walaupun bajet dalam Belanjawan ini diumumkan berjumlah RM12 juta kepada komuniti Tiong Hua, India dan lain-lain, namun sebenarnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menyalurkan lebih daripada RM12 juta bagi komuniti Tiong Hua, India dan lain-lain pada setiap tahun. Kerajaan Negeri komited dalam menyantuni masyarakat India dan pelbagai bantuan telah disalurkan kepada mereka. Antaranya ialah isu penyelesaian tapak khairat masyarakat India, pemberian tanah untuk pemindahan lokasi tapak kuil, dana-dana untuk menaik taraf bangunan ibadat masyarakat India, penyaluran dana untuk tapak kubur masyarakat India, bantuan kewangan untuk pembinaan dewan sekolah dan sebagainya dari masa ke semasa.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang telah mengumumkan satu inisiatif khususnya bagi masyarakat India iaitu pembinaan tempat pembakaran mayat atau krematorium di beberapa negeri melibatkan Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang berjumlah RM20 juta. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan sekalian, inisiatif ini adalah antara hasil usaha daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dimana kita telah memohon peruntukan untuk dua krematorium masyarakat India di negeri Johor kepada Kerajaan Persekutuan menerusi perbincangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri 1. Kini, bukan sahaja negeri kita sahaja yang telah mendapat manfaat, bahkan negeri lain di negara kita. Inilah cara Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulan daripada ucapan jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada sesi sidang Dewan akan soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua. Segala cadangan, buah fikiran yang dilontarkan kepada saya, sangat saya hargai dan alu-alukan. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Saya akhiri dengan serangkap pantun. Bunga dedap di atas para, anak dusun pasang pelita, kalau tersilap tutur bicara, jemari disusun, maaf dipinta. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Bukit Permai.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Maju Johor, salam Malaysia Madani. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu izinkan saya untuk merafak sembah ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan ucapan selamat ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Keputeraan pada 22 November 2024 yang lalu. Patik bersama sekalian warga Bukit Permai berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta sekalian Kerabat DiRaja Johor dilanjutkan usia seterusnya berada dalam keadaan sihat walafiat bagi manaungi patik-patik semua dan Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan demi kepentingan dan kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan “Maju Johor Rakyat Sejahtera”. Belanjawan yang selari dengan Agenda Maju Johor iaitu impian melihat negeri Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030 yang menampilkan 6 Teras yang disertakan dengan dokongan strategi dan inisiatif yang inklusif dan holistik bertepatan dengan ikhtiar ke arah kestabilan dan kemakmuran. Negeri Johor tanah berdaulat, sejarah agung dalam hikayat, pemimpin ulung memberi manfaat, seluruh rakyat mendapat nikmat. Maka, besarlah harapan untuk melihat segala strategi dan inisiatif pada setiap teras dapat dijayakan pada tahun hadapan sekali gus rakyat negeri Johor bukan sahaja meraih malah menikmati setiap manfaat daripada segala apa yang telah disediakan untuk mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada 19 orang Ahli Yang Berhormat dari Kukup, Sri Medan, Parit Raja, Endau, Tenang, Puteri Wangsa, Sungai Balang, Penggaram, Bukit Kepong, Bukit Batu, Senggarang, Mahkota, Johor Lama, Bekok, Kemelah, Penawar, Kota Iskandar, Maharani dan Bukit Naning yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan isu

perumahan di negeri Johor. Penghargaan dan terima kasih ikhlas juga daripada saya kepada semua yang telah memberi cadangan dan pandangan. Syor dan rujukan serta idea dan teguran. Hari ini saya akan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat susulan perbahasan yang telah berlangsung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pembentangan Belanjawan Negeri pada 21 November yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah menetapkan sasaran pembinaan 30,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang tahun 2026. Syukur Alhamdulillah, hasil kerjasama yang erat diantara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pemaju-pemaju, 13,461 unit telah berjaya disiapkan dan telah diserahkan kunci kepada pemilik setakat November 2024. Ini termasuk rumah PPR baru yang telah diluluskan. Kerajaan Negeri juga tidak sekadar berjanji kosong. Kami berusaha memastikan setiap projek perumahan yang diumumkan bukan hanya cantik pada angka, tetapi benar-benar dapat direalisasikan demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah pada tahun 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan tambahan 8,061 lagi rumah mampu milik yang akan siap dibina. Walaupun ini adalah langkah yang significant, saya akui bahawa angka ini masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat di 56 kawasan DUN dan 10 daerah dalam negeri Johor.

Suka untuk saya nyatakan juga di Dewan yang mulia ini, jika dalam sesi penggulungan Disember tahun lalu, saya nyatakan daripada 56 DUN, terdapat 14 DUN yang belum ada rumah mampu milik Johor. Tetapi, Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah, hasil Task Force PDRC dengan izin yang telah bersidang sebanyak 24 kali bersama 105 pemaju hanya terdapat baki 6 DUN lagi yang belum lagi mempunyai cadangan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor. Insya-Allah kita akan usahakan sebaiknya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak 1,370 unit rumah sedang diiklankan di dalam Portal e-Rumah Johor hari ini. Antaranya, Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor di Iskandar Puteri 761 unit. Yang kedua, Taman Bukit Perdana Kluang 228 unit. Yang ketiga, Taman Akasia Kluang 224 unit, Taman Tasek Sejati Segamat 60 unit dan Bandar IOI Segamat 70 unit. Malah, sebanyak 620 unit akan ditawarkan dan diiklankan kepada Bangsa Johor bermula hari ini ia ini 28 November 2024, bermula pada hari ini. Yang pertama, Taman Nusa Sentral Iskandar Puteri, 146 unit yang berharga RM258,000.00. Taman Perniagaan Setia Bandar Dato’ Onn 259 unit berharga RM200,000.00 dan Taman Kota Masai Pasir Gudang, 215 unit berharga RM150,000.00. Dan pada bulan hadapan yakni bulan Disember pula sebanyak 154 unit akan dimasukkan dalam portal e-Rumah Johor. Yang Pertama Taman Era Dua Simpang Renggam, 34 unit dan Taman Mengkibol Kluang 120 unit. Jumlah keseluruhan yang sedang dan akan diiklankan kepada Bangsa Johor adalah sebanyak 2,147 unit untuk rakyat membuat permohonan. Dan dalam portal e-Rumah ini harga bermula daripada RM50,000.00, RM100,000.00, RM150,000.00, RM200,000.00, RM250,000.00 dan sehingga RM300,000.00. Hal ini membuktikan bahawa Agenda Perumahan Rakyat sentiasa menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri. Bukan itu sahaja. menjelang tahun 2030 jumlah Rumah Mampu Milik Johor akan terus bertambah berdasarkan perkembangan pembangunan negeri ini. Untuk baki 6 DUN yang belum mempunyai Rumah Mampu Milik Johor, saya ingin memberi jaminan Bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti kemungkinan melaksanakan Projek Rumah Kasih Johor atau Rumah Prihatin Johor berdasarkan keperluan dan kesesuaian di kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Pegawai-pegawai Daerah dan pasukannya terutama kepada Pegawai Daerah Muar dan pasukannya termasuk Majlis Perbandaran Muar bersama YB ADUN Sungai Balang yang bekerjasama rapat dengan PKPJ dalam memastikan Rumah Mampu Milik Johor di Sungai Balang Muar dapat direalisasikan. Saya mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana YB-YB pasti lebih maklum keperluan dan situasi kawasan masing-masing. Jawatankuasa RMMJ seperti ini boleh berperanan sebagai sebuah task force strategik bagi menyelaras isu perumahan dan mengenal pasti keperluan perumahan di setiap kawasan DUN dalam dearah berkenaan.

Tugas jawatankuasa ini akan meliputi yang pertama, mengenal pasti lokasi tanah berpotensi. Kedua menilai jenis rumah yang diperlukan. Ketiga melibatkan wakil rakyat dan Jawatankuasa Teknikal Daerah dalam proses perancangan. Dan yang keempat mengusulkan cadangan di peringkat daerah kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut. Keberkesanan pendekatan ini telah terbukti melalui pelaksanaan projek di DUN Sungai Balang Muar dibawah penyelarasan Pegawai Daerah, kerjasama erat antara pelbagai pihak telah membolehkan proses pelaksanaan berjalan dengan lebih teratur, pantas dan berimpak tinggi. Inilah bentuk kerjasama yang selalu ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Don’t Work in Silo, Work in Team, dengan izin. Pendekatan ini menuntut semua pihak, termasuk wakil rakyat, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk pemaju-pemaju untuk berganding bahu untuk memastikan keutamaan rakyat tidak terabai.

Yang Berhormat Bukit Naning ada mencadangkan lot tanah. Insya-Allah bincang dengan Pegawai Daerah selesaikan isu ini di peringkat teknikal dan insya-Allah kita di peringkat kerajaan akan sedia membantu. Merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Endau di Dewan ini bahawa kawasan daerah Mersing dipinggirkan dan tidak mempunyai Rumah Mampu Milik Johor, saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan ini tidak berasas. Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Johor untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 sebagaimana dinyatakan dalam sidang Dewan yang lalu. Kerajaan telah bekerjasama dengan syarikat pemaju yakni Tetuan Lagenda Mersing Sdn. Bhd. untuk membangunkan perumahan mampu milik di daerah Mersing khususnya dalam DUN Endau. Pembangunan ini bakal menyediakan sebanyak 3,796 unit rumah dengan harga jualan antara RM50,000.00 sehingga RM300,000.00. Projek ini merangkumi rumah teras satu tingkat dan dibangunkan di atas tanah seluas 431 ekar, melibatkan 3 fasa pembangunan dalam tempoh 5 tahun. Lebih penting lagi, kerajaan turut memperuntukkan 482 unit rumah sebagai kuota khusus untuk penjawat awam disamping insentif khas sebanyak, berbentuk diskaun sebanyak RM45,000.00 kepada semua bakal pembeli kelak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam isu projek sakit dan terbengkalai. Perkara ini adalah dibawah bidang kuasa Jabatan Perumahan Negara sebagaimana termaktub dalam Akta Pemajuan Perumahan 118. Projek sakit didefinasikan sebagai projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus daripada jadual. Manakala projek terbengkalai merujuk kepada projek yang tiada sebarang aktiviti ketara di tapak selama 6 bulan dan disahkan oleh YB Menteri KPKT. Isu, Flat Mount Austin yang dibangkitkan oleh YB Puteri Wangsa adalah satu perkara yang serius yang menyentuh kebajikan rakyat. Projek ini telah dikategorikan sebagai projek terbengkalai oleh Kementierian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sejak 16 Mac 2012, iaitu 12 tahun yang lalu. Sebagai langkah tegas, jadi pemaju projek ini gagal memberikan kerjasama, lebih membimbangkan berdasar semakan terkini pemaju tersebut telah diisytiharkan muflis. Sebagai langkah tegas pihak KPKT telah menyenaraikan hitam pemaju ini termasuk semua Ahli Lembaga Pengarah Syarikat demi memastikan mereka tidak lagi terlibat dalam projek perumahan lain yang boleh merugikan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan, Kemelah dan Penggaram telah membangkitkan tentang pembinaan Rumah Kasih Johor dalam skala yang besar untuk rakyat miskin yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai tanah. Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, jumlah Rumah Kasih Johor telah ditingkatkan kepada 120 unit pada tahun 2024 berbanding sebelum ini pada tahun 2023 sebanyak 50 unit sahaja. Dan setiap ADUN diberi keutamaan untuk mencadangkan 2 calon keluarga susah yang mempunyai kad e-Kasih. Malah pada tahun 2025, Rumah Kasih Johor telah ditambah kepada 165 unit iaitu setiap ADUN akan diperuntukkan sebanyak 3 unit dan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan. Peningkatan jumlah unit yang diperuntukkan ini pasti adalah bagi memenuhi permohonan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk rakyat. Selain itu, mengambil maklum daripada Yang Berhormat-Yang Berhormat berkaitan isu pemilikan tanah di kalangan permohonan Rumah Kasih Johor, suka saya maklumkan bahawa kelonggaran kepada syarat pemilikan tanah telahpun dilaksanakan, di mana pemohon boleh menggunakan hak milik atas nama ibu bapa, adik

beradik, saudara kandung serta keluarga terdekat dengan kebenaran bertulis daripada pemilik tanah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sungai Balang, Yang Berhormat Pasir Raja, Yang Berhormat Parit Raja membangkitkan soal keperluan Balai Bomba di kawasan mereka. Balai Bomba diperlukan dalam meningkatkan kualiti kemampuan dan kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyalurkan perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negara. Setakat ini negeri Johor mempunyai 34 Balai Bomba sedia ada. Isnin yang lalu saya bersama ADUN Sri Medan, YB Sedili, YB Tiram telah mengadakan pertemuan bersama Pengarah Bomba Negeri Johor dan kepimpinan tertinggi bagi membincangkan keperluan Balai Bomba ini, terdapat prosedur zon kelayakan penempatan balai bomba berdasarkan risiko kawasan. Seperti semua sedia maklum kelulusan peruntukan penempatan Balai Bomba bukanlah bidang kuasa kelulusan Kerajaan Negeri tetapi bagi pihak Kerajaan Negeri saya akan membawa permohonan keperluan penempatan Balai Bomba untuk negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bertentang mata hati bertaut, terus jadi masuk meminang. Banyak persoalan sudah disambut, harap semua dapat bertenang. Seterusnya, agenda Bandar Pintar atau Smart City. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Senggarang, YB Mahkota, YB Kemelah dan YB Kota Iskandar membangkitkan perkara tentang penarafan Smart City PBT Negeri Johor. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat agenda Bandar Pintar adalah merupakan salah satu agenda utama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, oleh itu pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor atau Plan Malaysia Johor telah melancarkan Blueprint Bandar Pintar Negeri Johor 2030 pada bulan Jun tahun 2023. Blueprint ini adalah merupakan satu inisiatif yang melambangkan komitmen Kerajaan Negeri Johor ke arah pembangunan negeri pintar menjelang tahun 2030. Penyediaan Blueprint ini adalah bertujuan untuk menentukan hala tuju perancangan dan pembangunan Bandar Pintar di negeri Johor melalui inisiatif pintar yang berpaksikan kepada people centric iaitu membina Bandar Pintar yang mengutamakan keperluan rakyat dari segi menangani isu dan cabaran perbandaran seperti keselamatan kesesakan alam sekitar, kawalan pembangunan dan lain-lain lagi.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Johor melalui PlanMalaysia Johor serta beberapa rakan strategik telah menganjurkan beberapa program khususnya untuk menjadikan Bandar Pintar ini sebagai agenda pembangunan yang berpaksikan rakyat atau people centric. Program ini juga adalah langkah awal Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan dan mendidik rakyat negeri Johor tentang teknologi dan solusi terkini bagi meningkatkan kualiti hidup. Antara program tersebut adalah, Johor Smart City Forum 2023, program ini dianjurkan pada tahun 2023 di Persada Johor Bahru selama 4 hari dan telah menerima kehadiran seramai 10 ribu orang pengunjung daripada dalam dan luar negeri. Yang kedua, Program Johor Smart City Day 2024, program ini pula dianjurkan pada tahun ini selama 1 hari dan telah menerima pengunjung seramai 5,000 orang. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Johor melalui PlanMalaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan akan meneruskan agenda program ini pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar dan bertaraf asia.

Penarafan Bintang Bandar Pintar pula adalah merupakan satu pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan yang telah mencapai status Bandar Pintar di Malaysia. Secara umumnya terdapat 4 peringkat atau 4 tahap Bandar Pintar iaitu:

Yang pertama, peringkat pertama ialah Smart City Early Adopter dengan 10 indikator. Contoh seperti indikator yang pertama, perkhidmatan PBT boleh dicapai melalui atas talian. Contoh pembayaran cukai pintu dan cukai harta secara online. Indikator kedua, kaedah pembayaran boleh dibuat secara elektronik dan menggunakan mode bayaran tanpa tunai. Contoh pembayaran menggunakan kaedah QR Code dan Debit. Indikator ketiga sewaan dan kemudahan sukan dan rekreasi awam boleh ditempah secara atas talian. Indikator

keempat semua kawasan bandar diliputi pemantauan melalui CCTV contoh CCTV, spek tinggi yang dapat mengenal pasti kemalangan, kecurian dan pemantauan bencana alam, contohnya banjir. Banyak lagi indikator-indikator yang perlu dipenuhi iaitu 10 untuk menjadi Smart City Early Adopter. Peringkat kedua ialah Developing Smart City ada 35 indikator. Peringkat ketiga, Leading Smart City ada 63 indikator. Peringkat keempat adalah Visionary Smart City dengan 85 indikator. Oleh itu Kerajaan Negeri Johor Majlis Bandaraya Johor Bahru adalah antara PBT yang terawal dan terbaik di Malaysia bersama-sama dengan Perbadanan Putrajaya yang telah mencapai penarafan Bandar Pintar tahap 2 daripada 155 PBT. Insya-Allah, Kerajaan Negeri menyasarkan MBJB akan mencapai level 3, Leading Smart City pada tahun 2026 dan level 4, Visionary Smart City menjelang 2030. Manakala terdapat tujuh Pihak Berkuasa Tempatan yang telah mendapat pengiktirafan bagi penarafan bandar pintar tahap satu Early Adopter Smart City iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbadaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Pengerang, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Perbandaran Segamat. Dan lapan lagi PBT yang masih belum mendapat penarafan bandar pintar. Bagi isu Zoo Johor yang telah dibangkitkan oleh YB Johor Jaya telah dijawab oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam sesi jawab lisan pagi tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh sedikit persoalan yang dibangkitkan oleh YB Penggaram, Penggaram tentang pemberian lesen kepada peniaga. Sebelum itu, suka untuk saya menyatakan di Dewan sejak 1 Januari 2023, untuk lesen penjaja, peniaga pasar malam, peniaga food truck, tempoh kelulusan lesen yang sebelum ini mengambil masa 60 hari, sekarang hanya mengambil masa satu hari. Kalau dulu kita perlukan 9 dokumen, hari ini hanya tiga dokumen. Kalau dulu syarat yang perlu dipatuhi adalah 13 syarat, hari ini hanya 3 syarat. Kalau dulu 16 PBT, ada 16 format borang, hari ini hanya guna 1 format sahaja. Terima kasih kepada semua PBT-PBT dan Pihak Berkuasa Tempatan. Berbalik kepada perkara yang dibangkitkan oleh YB Penggaram yang mengatakan bahawa Majlis Perbandaran Batu Pahat telah memberikan lesen sementara dengan bayar empat kali ganda dari lesen biasa, ingin saya tegaskan situasi ini hanyalah diberikan kepada peniaga yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh PBT bagi mendapatkan lesen kekal. Dan peniaga ini diberi tempoh 6 bulan untuk melengkapkan syarat-syarat PBT yang melibatkan syarat daripada Jabatan Kesihatan dan bomba dan lain-lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seramai lapan orang Ahli Yang Berhormat iaitu Bentayan, Endau, Bekok, Penggaram, Bukit Naning, Maharani, Stulang dan Mengkibol membahaskan isu penyemakan semula di sepuluh PBT yang sedang dalam proses penyemakan semula kadar cukai iaitu Majlis Batu Pahat, Muar, Segamat, Pontian, Kota Tinggi, Daerah Tangkak, Yong Peng, Simpang Renggam, Mersing, Labis yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025. Saya tidak pasti kenapa Stulang dan Mengkibol membangkitkan isu ini sedangkan penyemakan kadar cukai di MBJB dan MPK telah pun selesai tahun lepas. Pelaksanaan ini adalah sebagaimana keputusan kerajaan pada 25 September 2019 melalui Ringkasan Mesyuarat Bil.1534/2019 dan pada 02 Oktober 2024 yang meluluskan pelaksanaan senarai nilaian dan kadar cukai baru. Untuk makluman kali terakhir penilaian semula dilaksanakan di semua PBT adalah pada tahun 2013 iaitu 7 tahun yang lalu dan telah melebihi 5 tahun sebagaimana peruntukan Seksyen 137, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penyemakan semula nilaian cukai ini sepatutnya dilaksanakan tahun 2019, tetapi atas faktor COVID melanda dunia yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi Johor maka kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan penyemakan semula nilaian cukai tersebut pada tahun 2019 iaitu 5 tahun yang lalu. Atas sebab itu juga, nilaian yang digunakan oleh sepuluh PBT ini adalah nilaian bagi tahun 2020 dan tidak menggunakan nilaian 2024. Jika tidak, rakyat pasti akan merasa sangat terbeban. Secara keseluruhannya bagi sepuluh PBT ini, nilaian hartanah telah meningkat sebanyak RM29.93 billion iaitu 36 peratus dalam tempoh 7 tahun iaitu peningkatan 5 peratus setahun secara purata. Bagi mengimbangi kenaikan nilai hartanah

yang tinggi ini, sepuluh Pihak Berkuasa Tempatan ini telah menyelarasakan semula kadar-kadar cukai agar tidak memberi kesan yang begitu ketara. Untuk sepuluh PBT ini, berdasarkan analisis jumlah keseluruhan peningkatan cukai adalah sebanyak RM36.91 juta dan purata kenaikan di bawah 18 peratus berbanding tahun 2013 atau secara puratanya 2.6 peratus setahun dan akan berkurang setelah semua bantahan dipertimbangkan oleh PBT-PBT.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara faktor peningkatan nilaian hartanah adalah berkembangnya ekonomi semasa. Pembangunan yang pesat dan pelbagai, ubah tambah yang dilaksanakan oleh pemilik itu sendiri serta tanah-tanah kosong yang giat dibangunkan dari tanah kosong ke tanah perumahan atau tanah komersial. Walau bagaimanapun sehingga 26 November 2024 dari jumlah keseluruhan pegangan di sepuluh PBT ini adalah sebanyak 372,779 unit. Jumlah bantahan keseluruhan sebanyak 4,660 atau 1.25 peratus sahaja berbanding dengan pelaksanaan penyemakan cukai lima PBT pada tahun lalu melibatkan jumlah pegangan 807,262 pegangan dengan jumlah bantahan sebanyak 20,018 pegangan bersamaan 2.48 peratus.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan pertambahan hasil terhadap PBT-PBT ini, maka perkhidmatan terhadap rakyat juga perlu dipertingkatkan. Demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat di kawasan-kawasan tersebut, pendapatan tambahan yang diperolehi oleh sepuluh PBT ini akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk infra seperti jalan, lampu, penyelesaian hotspot banjir, penyelenggaraan longkang dan lain-lain perkhidmatan PBT. Ambil nafas sedikit. ADUN Semarang tampan orangnya, jika bicara penuh bijaksana, Bukit Permai mohon masa, memberi jelas kepada semua. Sedikit lagi Yang Berhormat Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Teruskan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat, hasil perbincangan dan pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, beliau telah bersetuju untuk kerajaan pada tahun 2025, sepuluh PBT yang terlibat dengan penyemakan semula cukai ini akan diberikan rebet dan potongan sebanyak 30 peratus daripada nilai penyelarasan cukai baru tahun 2025. Sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh lima PBT tahun lalu, semoga rebet ini dapat meringankan beban pembayar-pembayar cukai tersebut. Dan akhir Yang Berhormat Datuk Speaker, selama, selama 984 hari diberi amanah sebagai EXCO, saya merasa amat bersyukur dan berterima kasih kerana dikurniakan pasukan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, pasukan PLANMalaysia Johor, pasukan SUKT, pasukan 16 PBT seluruh Johor dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor yang sangat komited dalam memastikan segala urusan demi rakyat terlaksana sempurna. Semoga komitmen ini akan terus jitu dan padu. Saya amat yakin dan percaya dalam langkah perjalanan kita untuk bergerak ke arah Maju Johor, selaku wakil rakyat kita perlu terus beristiqamah serta mengambil iktibar dan ikhtiar berpayung paksi dari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Setiap wakil rakyat wajar untuk bermuhasabah diri kerana perjuangan kita tiada titik noktahnya dan tiada batas sempadan kaum apalagi agama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, adat duduk bermusyawarah, fikiran jernih berlapang dada, ayuh kita sederap melangkah, Maju Johor rakyat sejahtera. Buat rakan-rakan seperjuangan di barisan sini dan barisan sana, ayuh kita bersama-sama bergandingan sederap, serentak dan seirama dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan bagi mencapai harapan dan impian Maju Johor 2030. Di atas bahtera Maju Johor pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita, Allah Peliharakan Sultan, Allah berkati Johor. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai. Ada berita baik daripada kita yang kita telah dengar tadi. Seterusnya, Yang Berhormat Buloh Kasap.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya mulakan sesi penggulungan Jawatankuasa ini dengan merafak sembah setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuhnya pada tanggal 22 November lalu. Semoga sentiasa di limpahi rahmat dan hidayah serta berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan. Patik juga ingin menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sarat dengan nasihat dan juga pandangan serta idea bernas demi kesejahteraan dan kemajuan Bangsa Johor. Saya juga mewakili jabatan dan agensi di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah serta terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2025 yang bertemakan “Maju Johor Rakyat Sejahtera”. Insya-Allah di bawah Jawatankuasa portfolio ini kami akan menggembeling seluruh tenaga dan usaha bagi memakmurkan negeri Johor dan seterusnya berusaha ke arah mencapai hasrat negeri Maju menjelang 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi pembentangan Belanjawan 2025 Agenda Keterjaminan Makanan Negeri Johor akan terus di perkasa dengan sasaran pelaksanaan 13 inisiatif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM67.8 juta. Dalam konteks pembangunan luar bandar pula sebanyak RM145.92 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan 7 inisiatif. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan berkerjasama dan mendapatkan sokongan daripada kerajaan persekutuan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Bagi rolling plan kelima tahun 2025, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau KKDW akan memperuntukkan sejumlah RM291.1 juta bagi pelaksanaan 126 projek atau program yang melibatkan 23 projek baru dan 103 projek sambungan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mulakan penggulungan saya dengan sektor luar bandar. Berkaitan perjawatan ketua kampung yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kukup, Senggarang dan Tiram, untuk makluman Yang Berhormat sekalian, tempoh perjawatan ketua kampung bagi sesi 2023-2024 sepatutnya tamat pada 31 Disember 2024. Walau bagaimanapun dengan mengambil kira bagi kerja-kerja pengurusan banjir yang berkemungkinan berlaku disebabkan oleh Monsun Timur Laut, Kerajaan Negeri Johor telah memutuskan bahawa tempoh perjawatan Ketua Kampung Negeri Johor bagi penggal 2023-2024 adalah dilanjutkan sehingga 30 April 2025. Dan pelantikan baru bagi penggal 2025-2026 akan berkuat kuasa pada 01 Mei 2025. Mulai tahun hadapan saya juga, Yang Berhormat Datuk Speaker berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memahami bahawa tugas dan tanggungjawab ketua kampung ini tidak mengikat mereka pada satu-satu masa. Mereka berkhidmat selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 360 hari setahun tanpa cuti. Justeru, pengumuman Yang Amat Berhormat Menteri Besar bahawa semua ketua kampung akan dilindungi melalui caruman skim keselamatan sosial pekerja sendiri amat-amat dialukan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM127,000.00. Saya mengambil maklum tentang isu infrastruktur asas dan utiliti yang dibangkitkan oleh YB Tenang di kawasan penempatan baru di Kampung Melayu Batu Lima dan Kampung Contoh, Tenang Station. Terima kasih kepada Pejabat Daerah Segamat, Pejabat Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Johor serta pihak TNB yang mengambil tindakan segera turun ke lapangan bagi meneliti perkara yang dibangkitkan selepas sahaja dibangkitkan oleh DUN Tenang kelmarin. Sayangnya DUN Tenang tidak ada.

Untuk makluman Yang Berhormat DUN Tenang, Pejabat Daerah Segamat dan Pejabat KKDW Johor telah mengenal pasti keperluan membina crusher run, longkang dan culvert sebagaimana yang diminta penduduk Kampung Melayu Batu Lima dengan anggaran kos sebanyak RM700,000.00. Untuk bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik pula, KKDW akan sekali lagi meninjau kawasan bersama TNB dan SAJ dan akan meninjau kawasan bagi mendapatkan keperluan dan anggaran kos yang diperlukan. Bagi Kampung Contoh Tenang Stesen, pihak KKDW berpandangan tapak yang dikurniakan kepada penduduk tersebut tidak sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan kerana berada di kawasan yang rendah dan berisiko banjir dan terdapat laluan paip gas Petronas di kawasan ini. Penduduk bercadang untuk memohon tapak gantian baharu namun tapak yang di cadangkan adalah tanah estet atau ladang. Pejabat Daerah Segamat akan memajukan isu ini, perkara ini kepada Pejabat Tanah Daerah Segamat untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Menyentuh perkara pembangunan masyarakat Orang Asli, untuk makluman Dewan pada tahun 2024 sebanyak RM7 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri dan JAKOA bagi melaksanakan pelbagai aspek pembangunan masyarakat Orang Asli. Daripada jumlah itu, RM635,000.00 telah diperuntukkan bagi membantu merancakkan pembangunan ekonomi, keusahawanaan dan koperasi Orang Asli. Sebanyak 29 orang usahawan dan pengusaha telah dibantu oleh pihak JAKOA termasuk menganjurkan pelbagai kursus peningkatan ekonomi yang disertai oleh ramai usahawan-usahawan Orang Asli.

Untuk makluman Yang Berhormat Panti pula, beberapa orang masyarakat Orang Asli dari DUN Panti telah menerima bantuan usahawan tahun 2024. Antaranya Puan Norazila binti Ayob dari Kampung Orang Asli Kempas Menang telah menerima peruntukan bekalan bantuan bekalan peralatan bengkel motorsikal bernilai RM5,000.00 mana kala Puan Joriah binti Inam dari Kampung Orang Asli Sayong Pinang telah menerima bantuan peralatan kedai runcit bernilai RM5,000.00. Pada tahun 2024, Kampung Orang Asli di DUN Panti juga telah menerima peruntukan menerusi Program Sejati Madani. Antaranya Kampung Sayong Pinang RM100,000.00 bagi projek pelancongan dan hospitaliti, Kampung Orang Asli Kempas menang RM100,000.00 bagi projek tanaman kelapa pandan dan kedai dobi manakala permohonan daripada Kampung Orang Asli Pasir Intan sedang dalam proses oleh pihak ICU. Kampung Orang Asli Sayong Pinang pula telah menerima RM100,000.00 bagi projek ekonomi dari kerajaan negeri Johor. Peruntukan tersebut merupakan salah satu komponen dalam pelaksanaan Kampung Orang Asli Sejahtera Tahun 2024. Antara projek yang dilaksanakan adalah tanaman serai fertigasi, ternakan ikan sangkar dan bantuan bot nelayan.

Sebenarnya ramai usahawan Orang Asli Johor yang berjaya dalam bidang perniagaan mereka. Antaranya usahawan Orang Asli di Kampung Orang Asli FELCRA Sungai Layau, Kota Tinggi, di kawasan DUN Penawar iaitu Puan Raudah binti Abdul Syukor, pemilik syarikat Zayana Zz Bakery. Beliau telah memperolehi Anugerah Usahawan Gemilang sempena Majlis Apresiasi Masyarakat Orang Asli Negeri Johor tahun 2024 yang telah berlangsung baru-baru ini. Koperasi peserta-peserta FELCRA kawasan Sungai Layau Berhad juga merupakan salah satu koperasi Orang Asli yang berdaya maju di negeri Johor dan mendapat pelbagai anugerah dan pencapaian. Antara aktiviti ekonomi yang dijalankan disini adalah eco-pelancongan, perladangan, peruncitan dan restoran. Pembangunan ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi perhatian dan fokus kepada kerajaan. Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli, JAKOA juga menjadikan Program Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET sebagai antara usaha berterusan memperkasakan masyarakat Orang Asli. Peranan TVET kepada Orang Asli bukan sahaja bertujuan untuk mengasah dan meningkatkan kemahiran yang dimiliki, sebaliknya berfungsi untuk menaikkan taraf pendapatan sedia ada dan membantu ekonomi mereka agar berjaya keluar daripada garis kemiskinan. Untuk makluman Ahli Dewan, KKDW telah bersetuju untuk mewujudkan dan mengaktifkan Institut Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional atau TVET khusus buat masyarakat Orang Asli.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh perkara yang dibangkitkan dalam ucapan Kukup. Menerusi lawatan saya ke Kampung Orang Asli Bumiputera dalam Rengit, Batu Pahat pada 11 Jun 2024 lalu bersama Yang Berhormat Datuk Speaker, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah negeri Johor serta kepimpinan setempat, enam perkara telah dibangkitkan. Antaranya yang pertama ialah baik pulih bumbung dan papan tanda Tabika KEMAS Kampung Orang Asli Bumiputera, Rengit dan ia telah dilaksanakan dan siap 9 November lalu dengan kos sebanyak RM20,000.00. Yang kedua, permohonan pembinaan rumah sampah, juga telah siap pada 18 September lalu dengan kos sebanyak RM50,000.00. Yang ketiga, permohonan membina tandas awam di kawasan perniagaan Kampung Orang Asli Bumiputera dalam Rengit. Pembinaan tandas ini telah bermula 5 November lalu dengan kos sebanyak RM20,000.00 dan dijangka siap akhir Disember ini. Mana kala permohonan yang keempat dan kelima ialah permohonan lampu limpah dan pintu gerbang kampung. Ianya dalam usaha pihak JAKOA dan kerajaan negeri untuk mencari peruntukan kerana ia melibatkan kos yang besar. Dan yang keenam Datuk Timbalan Speaker ialah permohonan bina baharu rumah Puan Marliana Bahari yang menumpang di rumah kedai seperti yang dimaklumkan di dalam Dewan ini.

Untuk makluman Ahli Dewan, pihak JAKOA telah berusaha untuk membantu pemohon tersebut, namun masih tertangguh kerana pemohon tidak memenuhi syarat asas permohonan iaitu pemohon adalah pemegang sijil kelahiran berstatus Melayu, bukan Orang Asli, sedangkan tapak yang dicadangkan dalam tanah rizab Orang Asli. Dalam Perkara 8, Akta Orang Asli 1954, seseorang yang bukan berketurunan Orang Asli tidak boleh menduduki tanah yang dirizabkan kepada Orang Asli. Rizab Orang Asli juga tidak boleh dipinda kepada rizab Melayu selaras dengan Perkara 7 dalam akta tersebut. Justeru kami mencadangkan agar Puan Marliana menukar status keturunan beliau dalam sijil kelahiran supaya melalui Jabatan Pendaftaran Negara bagi membolehkan permohonan atau pemohon menikmati bukan sahaja pembinaan rumah, malah pelbagai keistimewaan sebagai Orang Asli seperti mana yang ditetapkan oleh kerajaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walau bagaimanapun kami ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang begitu prihatin terhadap perkara ini. Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan Yang Amat Berhormat, beliau bersetuju untuk menurunkan peruntukan khas bina baharu rumah kepada pemohon. Jadi saya minta pihak JAKOA sekali lagi mengadakan perjumpaan dengan pemohon bagi menyelesaikan perkara ini termasuk perkara yang saya sebutkan di atas tadi supaya perkara ini dapat diselesaikan tanpa menyentuh atau melanggar akta yang disebutkan tadi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sebanyak RM18 juta akan diperuntukkan bagi inisiatif pembangunan infrastruktur asas lot generasi FELDA pada fasa 1 tahun 2025. Untuk makluman Yang Berhormat Johor Lama, Panti dan Sedeli, Kerajaan Negeri sememangnya sedar akan keperluan pembangunan infrastruktur asas pemilik-pemilik lot generasi FELDA di seluruh Johor. Untuk fasa 1 ini, lima cadangan kawasan rancangan FELDA dipilih. Berdasarkan peratusan jumlah rumah yang telah siap, atau sedang dibina, Insya-Allah saya akan adakan perbincangan dan mendapatkan pandangan pihak FELDA dan ADUN-ADUN kawasan yang berkenaan bagi pelaksanaan inisiatif ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta ringgit. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Kemelah yang membangkitkan mengenai keperluan bagi menaik taraf jambatan Temengau di FELDA Kemelah. Insya-Allah ia akan dibangkitkan juga bersama dengan FELDA-FELDA dan Kerajaan Persekutuan.

Naik taraf Tabika KEMAS. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan pembinaan tiga buah Tadika KEMAS dalam belanjawan negara yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini. Tadika-tadika tersebut adalah yang pertama Tadika KEMAS Ayer Baloi, Pontian dengan melibatkan peruntukan RM2.2 juta, yang kedua Tabika KEMAS

Kampung Sungai Kuali, Pontian, Tanjung Piai melibatkan peruntukan sebanyak RM2.3 juta dan yang ketiganya Tabika Kemas Taman Astaka Jaya A, Parlimen Segamat dengan jumlah peruntukan RM2.2 juta. Manakala sebanyak RM1.3 juta juga diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui KKDW bagi kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih 21 buah Tadika KEMAS di seluruh negeri Johor. Walau bagaimanapun sebenarnya ada banyak lagi Tadika KEMAS yang perlu diberi perhatian. Justeru itu mewakili pihak warga KEMAS, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang pertama kalinya pengumumkan peruntukan besar sebanyak RM1.5 juta untuk pelaksanaan baik pulih 27 buah Tadika KEMAS seluruh negeri Johor termasuk Tadika KEMAS di kawasan kampung Orang Asli.

Saya beralih pula kepada pembangunan sektor pertanian. Yang Berhormat Datuk Speaker terima kasih kepada Yang Berhormat Bukti Kepong dan Endau yang prihatin terhadap pembangunan sektor pertanian di negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Kepong, Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan dan perkembangan projek-projek pertanian di kawasan khas, projek khas sektor pertanian. Antaranya projek di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang diselaraskan oleh Jabatan Pertanian negeri Johor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor. Di bawah Jabatan Pertanian negeri Johor, terdapat sembilan buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan keluasan 511.91 hektar yang melibatkan 86 pengusaha dengan pengeluaran 8.618 matrik tan buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai RM24.4 juta bagi tahun 2023. Mana kala sehingga penggal ke tiga tahun 2024 ini sebanyak 7,467.92 matrik tan sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai RM17.1 juta telah berjaya disumbangkan menerusi projek TKPM pertanian ini. Di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula terdapat 36 TKPM veterinar dengan keluasan 3,515 hektar melibatkan 209 penternak dan mencatatkan rekod semasa sebanyak 2,237.05 matrik tan dengan nilai RM12.3 juta. Pembangunan TKPM perlu dinaik taraf secara berterusan dengan pengadaptasian teknologi terkini, sistem IoT dan mekanisasi supaya dapat mengeluarkan hasil tanaman yang lebih banyak, berkualiti dan berterusan. Pembangunan yang berstruktur terutamanya di kawasan TKPM veterinar perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan pengoptimum penggunaan keseluruhan keluasan tanah bagi pelaksanaan projek ternakan.

Untuk makluman Yang Berhormat Endau, pembangunan sektor pertanian dan industri penternakan daerah Mersing termasuk di kawasan Endau, sentiasa diberi perhatian. Untuk rekod, RM984,215.00 telah diperuntukkan bagi membantu usahawan-usahawan tani di daerah Mersing. Ia termasuklah bagi tujuan pembangunan sawah padi di kawasan Air Papan dan Sawah Endau serta bantuan insentif pembangunan kepada 52 pengusaha industri tanaman dan industri asas tani. Bagi pengusaha ternakan pula RM264,305.00 telah diperuntukkan bagi membantu 21 penternak daerah Mersing termasuk kawasan Endau. Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri bercadang menaiktaraf satu rumah sembelihan ruminan di kawasan Endau bagi dimanfaatkan oleh para penternak di sekitar Endau dan Mersing. Sayang Endau pun tak ada juga. Pemberian insentif-insentif dalam pembangunan industri ternakan sebagaimana yang dinyatakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran KPI untuk meningkatkan pengeluaran atau populasi ternakan ruminan pada tahun 2027.

Walaupun bukan pengeluaran terbesar dalam industri penternakan ruminan, Johor berada dalam ranking top 3 bagi ternakan lembu, kambing dan biri-biri dalam negara. Sasaran awal KPI jumlah populasi ternakan ruminan negeri Johor bagi tahun 2027 adalah 177,733 ekor. Namun berdasarkan rekod tahun 2023, populasi ternakan ruminan telah mencapai populasi sebanyak 175, 638 ekor atau 98 peratus berbanding sasaran yang sepatutnya dicapai tahun 2027. Dengan pencapaian tersebut, atas saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, maka sasaran KPI 2027 untuk ternakan ini akan ditingkatkan daripada 177,733 ekor kepada 200,000 menjelang tahun 2027. Ini adalah sebahagian daripada usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sumbangan pengeluaran dan

meningkatkan kadar sara diri SSR daging dalam negara sebagaimana yang ditekankan oleh Yang Berhormat Bukit Kepong.

Gambir pula membangkitkan pembangunan utara Johor, kita faham beberapa daerah utara Johor lebih, kita faham bahawa pembangunan dalam daerah-daerah di utara Johor lebih kepada pembangunan sektor pertanian, malah menjadi daerah dan tumpuan bagi tanaman-tanaman berskala besar seperti tanaman sawah padi dan durian. Agihan peruntukan pembangunan tahun 2024 yang akan disalurkan kepada 3 daerah ini ialah Tangkak sebanyak RM2.435 juta, Muar RM3.298 juta, Segamat RM2.603 juta. Untuk ketiga-tiga daerah Johor utara ini, jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian tahun 2024 ini ialah RM8,337,467.00. Untuk rekod, data juga menunjukkan potensi Tangkak dalam sektor pertanian yang mana merupakan daerah tertinggi pengeluaran hasil durian tahun 2023 iaitu sebanyak 68,468.4 metrik tan dengan keluasan bertanam durian sebanyak atau seluas 4,372.8 hektar. Selari dengan itu, pihak FAMA sedang menaiktaraf pusat pemprosesan buah-buahan segar FAMA kepada pusat pengumpulan pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran (CCPDC) yang diadakan di pusat operasi FAMA daerah Tangkak dengan nilai lebih kurang RM10 juta iaitu RM2 juta oleh peruntukan kerajaan negeri dan hampir RM8 juta oleh pihak swasta. Pembangunan CCPDC ini melibatkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat swasta dalam usaha memproses durian sejuk beku bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Kumpulan sasaran untuk pengumpulan hasil ladang tidak terhad kepada daerah Tangkak sahaja. Malah melibatkan daerah Segamat, Muar dan daerah-daerah lain, dengan pembangunan ini kapasiti pemprosesan durian sejuk beku dijangka mencapai 4,320 metrik tan setahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Mengkibol dan Penggaram pula membangkitkan pembangunan kawasan yang diusahakan oleh Johor Biotech. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Makanan Bio Desaru berkeluasan 9,093.5 ekar. Kerajaan negeri mengakui beberapa kelemahan yang telah dinyatakan dalam Laporan Audit Negara dalam perlaksanaan projek Lembah Makanan Bio Desaru tersebut. Pihak pengurusan baru Johor Biotech sedang berusaha untuk memperbetulkan situasi ini termasuk pengeluaran notis penamatan perjanjian serta melaksanakan tindakan perundangan kepada syarikat-syarikat yang melanggar dan gagal mematuhi syarat perjanjian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mewakil Jawatankuasa ini saya ingin mengucapkan terima kasih di atas pertambahan peruntukan bagi Program Jualan Kasih Johor. Jualan Kasih Johor yang bermula pada tahun 2023 dengan peruntukan hampir RM1 juta ditambah kepada RM5 juta tahun 2024 dan diumumkan pertambahan kepada RM6.6 juta bagi tahun 2025, menunjukkan kejayaan program ini kepada masyarakat. Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana saya difahamkan oleh pihak FAMA bahawa rata-rata Ahli Yang Berhormat juga menambah jumlah jualan dan kuantiti barang yang dipasarkan oleh FAMA. Dan mewakili Kerajaan Negeri, kami juga ucap terima kasih kepada FAMA dan usahawan-usahawannya yang saya juga difahamkan bahawa mereka juga kadang kala ada menambah juga jumlah potongan. Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin, ceramah pula. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada FAMA dan usahawan-usahawan FAMA yang juga menyokong program ini. Dalam belanjawan 2025 ini selain penambahan peruntukan kami juga menerima beberapa peruntukan baru yang dilaksanakan di tahun hadapan. Ia termasuklah peruntukan RM500,000.00 bagi usaha kerajaan menambah pengeluaran lada hitam di negeri Johor. Untuk rekod, Semenanjung Malaysia mengimport lada hitam sebanyak 3,000 tan setiap tahun. Justeru kami melihat peluang besar kepada pengusaha-pengusaha lada hitam jadi kami harap peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada lada hitam ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pengusaha.

Yang Berhormat, akhir sekali berkenaan dengan Jelajah Desa Johor. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memperuntukkan sejumlah yang besar kepada program Jelajah Desa ini dan saya ingin maklumkan bahawa program Jelajah Desa ini akan melibatkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, akan melibatkan semua kampung-kampung tradisional, semua kampung Orang Asli dan semua kawasan FELDA dalam kawasan Yang Berhormat. Jadi penyelarasan akan dibuat bersama Ahli Yang Berhomat dan ketua-ketua jabatan termasuk kampung-kampung Orang Asli dan FELDA di kawasan-kawasan tersebut. Jadi saya harap program ini akan mendapat kerjasama di kalangan semua pihak termasuk wakil rakyat, jabatan dan penduduk yang terlibat.

Secara keseluruhan, pembangunan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar akan terus diperkasakan oleh Kerajaan Negeri menerusi portfolio ini dalam usaha untuk menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030, kita tidak mahu ada golongan atau masyarakat yang tertinggal terutamanya kumpulan-kumpulan sasar dalam portfolio ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan perkara atau isu dalam Persidangan Dewan ini yang sangat penting untuk diberikan perhatian. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan melalui sesi penggulungan ini tidak menepati kehendak Ahli Yang Berhormat. Sekiranya terdapat soalan yang perlukan penjelasan lebih lanjut, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh lah merujuk dan mendapatkan penjelasan daripada pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas tersebut secara bertulis atau menerusi perbincangan yang terperinci.

Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, ketua-ketua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta para pegawai terutamanya di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Luar Bandar sama ada di peringkat negeri dan daerah yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tahun 2024 ini, termasuk semua pihak yang terlibat di lapangan. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan di tahun akan datang. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Buloh Kasap. Ahli-Ahli Yang Berhormat, syukur alhamdulillah 10 orang pada hari ini, pada sesi hari ini telah tamat keseluruhan persembahan penggulungan oleh 10 orang Pengerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa yang ada dan masa yang sama jika ada perkara-perkara yang tidak dijawab dan masih memerlukan penjelasan dan maklumat tambahan, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh lah menghubungi Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa berkenaan untuk dipanjangkan kepada para warga di akar umbi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat jauh ke tengah mengail ikan, mengail ikan menaiki sampan. Yang terang dan baik diwar-warkan, yang samar dan kurang dicarikan penjelasan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat ucapan penggulungan pada hari Ahad, 1 Disember 2024. Oleh yang demikian Persidang ini saya tangguhkan sehingga Ahad, 1 Disember 2024 jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.00 petang.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Timbalan Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Sufian bin Suleiman Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Koordinator

Puan Hajah Rohana binti Matang

Pembantu Penerbitan

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Haironisha binti Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Nohafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar

Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 28 November 2024

Timbalan Speaker

VERBATIM