Johor · 16 May 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 7 turns · 2,350 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor Memanggil Dewan Negeri Untuk Bermesyuarat.
Pemasyhuran oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Bahawasanya diperuntukkan oleh Pecahan Fasal (1) Fasal 23 dalam Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, bahawa Raja hendaklah dari satu masa ke satu masa memanggil Dewan Negeri mengadakan mesyuaratnya:
Maka oleh yang demikian, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan sebagaimana di atas, dengan ini memanggil Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 16 Mei 2025 jam 9.30 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi memulakan Mesyuarat Penggal Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 yang akan diadakan di Dewan Persidangan Dewan Negeri, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.
Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor, Selamat Hari Guru, Guru Pemacu Reformasi Pendidikan. Terima kasih cikgu.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan yang mulia ini ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia Kelima, yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 April 2025 yang lalu. Jasa dan sumbangan Allahyarham Tun kepada negara adalah cukup besar khususnya kepada pembangunan Koridor Selatan Johor atau Iskandar Malaysia. Justeru, saya ingin menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat bangun, bagi yang beragama Islam kita hadiahkan Al-Fatihah dan yang lain bertafakur selama satu minit. (Bacaan Al-Fatihah). Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini kita akan memulakan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Selaras dengan peruntukan di bawah Fasal 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan bertitah kepada Dewan Negeri pada pagi ini.
Bagi membolehkan kita menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di hadapan Tangga Agung Bangunan ini, maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga jam 10:30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 9:40 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 10:30 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Sukacita saya memaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan berangkat masuk sebentar lagi.
Ampun Tunku, Mufti Negeri Johor Mohon Perkenan Membaca Doa.
DOA. (Mufti Negeri Johor membaca doa).
Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Amat Mulia Tunku berkenan bertitah kepada Dewan Negeri. DYAM Pemangku Sultan Johor : Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-Mulia Rasul serta keluarga dan sahabatnya sekalian. Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada pagi ini. Saudara-saudari sekalian, saya telah berkali-kali menyatakan bahawa keutamaan saya, adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan di negeri Johor, agar Bangsa Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Dalam aspek ekonomi, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion, bagi suku tahun pertama tahun 2025 yang didorong oleh pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Pada April 2025 pula, menerusi sokongan dan kerjasama yang padu antara kerajaan negeri dengan semua pihak terdapat projek-projek baru bernilai RM23 bilion yang sedang dalam perancangan. Hasil negeri Johor untuk tahun 2024 turut merekodkan nilai positif iaitu RM2.1 bilion. Prestasi itu diteruskan pada suku pertama 2025, apabila Johor berjaya mencatatkan pertumbuhan hasil negeri sebanyak RM598 juta, 29.84 peratus lebih tinggi berbanding anggaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Johor. Saya ingin menzahirkan rasa gembira melihat pencapaian-pencapaian ini, dan rasa bangga apabila Johor kini dikatakan sebuah negeri yang muncul sebagai kuasa besar baru dalam ekonomi Malaysia. Saya percaya dengan trend pertumbuhan ekonomi negeri Johor ketika ini rakyat Johor akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa depan, dan juga saya berharap prestasi seperti ini diteruskan. Saya ingin melihat Johor terus berkembang maju dan menjadi negeri yang harus dicontohi di Malaysia.
Saudara saudari sekalian, pendidikan untuk Bangsa Johor adalah sangat penting, dan saya berpandangan pendidikan berkualiti tinggi akan melahirkan Bangsa Johor yang berdaya saing di peringkat domestik dan juga global. Saya berasa gembira apabila cetusan idea saya untuk mewujudkan Sekolah Rintis Bangsa Johor dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Saya berharap SRBJ bakal menjadi model kepada pendekatan pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif. Pelaksanaan ini telah bermula secara rasmi dan melibatkan 4 buah sekolah pada masa ini. Saya turut dimaklumkan, bagi memperkasakan kemahiran dan modul pengajaran serta pembelajaran tenaga pengajar, kerajaan negeri telah menghantar 90 orang guru untuk mengikuti kursus di Institut Pendidikan Negara, Singapura. Kita juga tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik yang ketinggalan zaman.
Saya berharap kerajaan persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi.
Saudara saudari sekalian, selain pendidikan yang berkualiti, institusi kekeluargaan adalah sangat penting dalam membentuk nilai dan jati diri anak-anak Bangsa Johor sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan dan masyarakat. Saya ingin melihat Bangsa Johor yang tinggi sahsiah, patriotisme dan setia kepada negeri ini. Bangsa Johor mesti kekal teguh dengan identiti yang unik, progresif dan berdaya saing namun tidak pernah melupakan akar budaya dan nilai tradisi negeri ini. Oleh itu, saya menyeru agar Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor dapat merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan lagi nilai dan jati diri Bangsa Johor merentasi semua peringkat umur.
Saudara saudari sekalian, kemudahan infrastruktur utama seperti pengangkutan awam, kemudahan sukan, jalan raya dan infrakstrukur digital perlu sentiasa diselenggara dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Saya menyambut baik usaha terkini Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) strategik bersama Kerajaan Negeri Johor pada bulan lalu bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menaik taraf capaian komunikasi infrastruktur digital dan kemajuan internet. Saya juga berharap kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan kesihatan dengan memastikan hospital, klinik baharu dibina mengikut jadual, dilengkapi dengan teknologi terkini, fasiliti yang baik serta bekalan ubat-ubatan yang sentiasa mencukupi di seluruh negeri Johor.
Saudara saudari sekalian, sejajar dengan ucapan saya pada persidangan yang lepas, keutamaan juga perlu diberikan kepada usaha untuk memastikan semua Bangsa Johor mempunyai makanan secukupnya, pendapatan minima dan keperluan asas. Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri berjaya membantu 4,378 ketua isi rumah miskin tegar bagi fasa pertama dan disifarkan pada 31 Julai 2024. Jumlah miskin tegar fasa kedua, iaitu 234 ketua isi rumah telah berjaya disifarkan pada 29 April 2025. Suka saya merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan kerjasama kerajaan persekutuan bagi memastikan usaha sifar miskin tegar di Johor menjadi kenyataan. Komitmen ini jelas membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan negeri Johor dalam membela nasib rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. Dalam usaha kerajaan negeri untuk terus menarik pelaburan dan projek baharu, saya juga berharap keutamaan diberikan kepada rakyat Johor dalam soal peluang pekerjaan dan lebih banyak usaha dilakukan untuk mencipta lebih banyak pekerjaan khususnya pekerjaan bergaji tinggi. Pertumbuhan ekonomi Johor perlu dinikmati oleh semua rakyat Johor. Pendapatan rakyat Johor juga harus meningkat seiring untuk menampung kenaikan kos sara hidup.
Saudara saudari sekalian, kemudahan tempat tinggal untuk Bangsa Johor juga menjadi keutamaan keluarga Diraja Johor sejak dahulu lagi. Keluarga saya berbesar hati menghulurkan pelbagai jenis bantuan dan sumbangan terutamanya apabila berlaku bencana alam atau musibah yang melanda Bangsa Johor. Prinsip ini diterjemah menerusi pebagai inisiatif perumahan yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri, seperti Rumah Mampu Milik Johor serta Rumah Transit Bangsa Johor bagi memastikan setiap Bangsa Johor dapat memiliki sebuah rumah tanpa dibebani dengan komitmen kewangan yang terlalu tinggi. Inisiatif-inisiatif ini penting untuk memastikan semua Bangsa Johor khususnya golongan B40 memiliki Rumah Mampu Milik dengan harga yang munasabah. Saya mengambil maklum bahawa sebanyak 21,000 unit RMMJ berjaya disiapkan sehingga Mac lalu, iaitu 70 peratus daripada sasaran 30,000 unit menjelang 2026. Daripada jumlah berkenaan sebanyak 16,000 unit telah didiami setakat ini.
Saudara saudari sekalian, baru-baru ini saya menekankan kepentingan Johor ditadbir oleh Pegawai Tadbir yang memiliki standard serta kemahiran profesional yang tinggi. Johor sedang berkembang pesat dan adalah wajar untuk mempertingkatkan kualiti dan standard Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS). Mereka sebagai tulang belakang kepada tadbir urus kerajaan dalam menggubal dasar juga harus membantu pelbagai pelaksanan inisiatif rakyat serta menjadi jabatan antara kerajaan negeri dan Bangsa Johor. Oleh itu, pegawai JCS perlu dibekalkan dengan ilmu global dan kemahiran kepimpinan yang sejajar dengan keperluan masa kini. Sebagai langkah permulaan, kerajaan negeri melalui Tabung Pendidikan Permodalan Darul Ta’zim telah mengambil inisiatif menaja pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam Johor untuk mengikuti kursus pembangunan profesional bertaraf dunia di Institusi Pendidikan Antarabangsa termasuklah Universiti dalam kelompok Ivy League di Amerika Syarikat. Saya juga telah menitahkan kerajaan negeri untuk berbincang dengan University Harvard bagi meneroka pendekatan baru dalam penyediaan kursus profesional di negeri ini melalui kerjasama dengan universiti tersebut. Saya percaya ini merupakan pelaburan strategik untuk masa depan Johor. Saya ingin melihat Johor mempunyai Pegawai Tadbir yang bukan sahaja cemerlang dari sudut teknikal dan pentadbiran, tapi memiliki pemikiran kritikal, keupayaan membuat keputusan yang tepat dan mempunyai daya tahan dalam mendepani cabaran akan datang.
Saudara saudari sekalian, pembangunan dan pencapaian sukan di Johor sudah memasuki fasa baru. Belum pernah dilihat sebelum ini, lihat kejayaan Johor dalam pelbagai bidang sukan seperti bola sepak, bola jaring, sukan permotoran, rabgi dan sebagainya. Justeru, lantikan tokoh-tokoh sukan bertaraf dunia, seperti jaguh badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei dan lagenda ragbi dunia Sonny Bill Williams sebagai Duta Sukan Johor bukan sekadar satu simbolik. Sebaliknya perlantikan mereka adalah strategik untuk mempromosikan negeri Johor ke pentas antarabangsa dan memacu pembangunan sukan tempatan secara lebih menyeluruh serta menjadi contoh teladan kepada belia di negeri ini.
Saya ingin melihat Johor sebagai negeri peneraju dalam agenda Sport Nation di negara ini menjelang 2030. Johor bukan sahaja sedang membina kemudahan bertaraf dunia, tetapi bakal melahirkan atlet berkualiti tinggi serta memperkukuhkan industri sukan supaya dapat menyumbang kepada negeri dan negara. Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, institusi pendidikan, persatuan sukan, sektor korporat dan komuniti tempatan diwajibkan berganding bahu menjadikan Johor sebagai contoh cemerlang dalam ekosistem sukan yang bertaraf dunia.
Saudara saudari sekalian, Johor bertuah kerana memiliki alam semula jadi yang indah dan menarik serta bangunan warisan bersejarah, yang mampu menjadi tarikan pelancongan dari seluruh dunia. Bagi menjayakan industri pelancongan ini, kerajaan negeri perlu melakukan kerja menaik taraf infrastruktur pelancongan sedia ada serta menggerakkan promosi semua produk pelancongan dengan lebih agresif. Tanggungjawab tentang perkara ini perlu mendapat perhatian sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri untuk melaksanakan peruntukan bagi menaik taraf infrastuktur dan promosi pelancongan. Nasihat saya juga kepada semua individu serta pengusaha-pengusaha pelancongan ini perlulah bersama-sama menggembleng tenaga dan idea dalam menjayakan sektor pelancongan negeri Johor ini. Tolong sentiasa menjaga kebersihan dan hindari sikap kerakusan yang boleh mengganggu ekosistem sesuatu tempat pelancongan berkenaan. Setiap perancangan perlu bersistem dan mengambil kira daripada segala sudut agar keindahan alam semula jadi dan nilainya terjamin dan terjaga.
Saya kesal apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di dalam sungai baru-baru ini. Tingkah laku sebegini membebankan kerajaan yang terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk kerja-kerja pembersihan, sedangkan dana itu sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan. Kes-kes seperti ini tidak seharusnya berlaku dan saya menitahkan agar kerajaan negeri bersama-sama pihak berkuasa duduk berbincang bagi melaksanakan hukuman yang sangat
tegas kepada individu atau mereka yang masih lagi sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai ataupun di mana-mana tempat.
Saudari-saudari sekalian, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa bangga terhadap perjalanan Persidangan Dewan Negeri Johor yang berlangsung sebelum ini dengan tertib, teratur dan penuh hormat. Sesuatu yang boleh mencerminkan kematangan demokrasi dan budaya politik yang beradab. Saya ingin menegaskan bahawa Dewan Negeri Johor ini adalah Dewan yang mulia. Ia bukan medan untuk bertelagah, bukan tempat untuk melepaskan emosi atau kepentingan politik peribadi sebaliknya Dewan ini adalah wadah untuk membincangkan dasar menggubal undang-undang dan yang paling utama memperjuangkan nasib serta kebajikan rakyat Johor. Saya harap agar keharmonian yang menjadi tradisi Dewan Negeri Johor dan juga jadi contoh akan terus dipelihara dan jangan biarkan percakaran menjadi budaya dan jangan jadikan Dewan ini bahan ketawa rakyat.
Saya turut ingin mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri bahawa sekarang bukan musim pilihan raya Johor. Setiap daripada anda telah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Jadi, sila fokus kepada tanggungjawab tersebut. Bangsa Johor memerlukan ADUN yang bertanggungjawab dan berkesan untuk berkhidmat serta membantu negeri ini terus membangun serta meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.
Akhir kata, jaga tingkah laku anda dan berkhidmat dengan jayanya supaya Johor kekal maju serta disanjung dan dihormati. Marilah kita berdoa kehadrat Allah S.W.T. semoga negeri Johor terus maju membangun dengan aman dan makmur, dijauhi daripada segala bala bencana agar seluruh rakyat dapat hidup harmoni, bersatu padu dan bahagia.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Penggal Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun Tunku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Negeri Johor Yang Ke-15.
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan berangkat meninggalkan Dewan ini. Dijemput Ahli-Ahli Yang Berhormat dan dif-dif sekalian beredar ke Dewan Bankuet. Maka saya tangguhkan Persidangan ini sehingga hari Isnin, 19 Mei 2025 jam 9.30 pagi. Terima kasih.
Persidangan ditangguhkan pada jam 10:45 pagi.
Persidangan akan disambung semula pada hari Isnin, 19 Mei 2025, jam 9:30 pagi.
PEGAWAI-PEGAWAI BERTUGAS: Jurutulis Puan Zarina binti Abdul Kadir Penolong Jurutulis Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli Koordinator Puan Hajah Rohana binti Matang Pembantu Penerbitan Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar Pembantu Operasi (Bentara) Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan) Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad Rakaman Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 16 Mei 2025
VERBATIM