Johor · 19 May 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 126 turns · 37,625 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya sempurnalah sudah Majlis Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Kelima Belas oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada hari Jumaat, 16 Mei 2025. Dengan ini, Ahli-Ahli Dewan Negeri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Tunku ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah bertitah keutamaan baginda adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan di negeri Johor agar Bangsa Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Pada tahun lalu, Duli Yang Amat Mulia Tunku mengilhamkan sekolah Bangsa Johor. Hari ini ia menjadi realiti dengan pelancaran empat (4) Sekolah Rintis Bangsa Johor. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, jentera pentadbiran Johor dan semua pihak yang merealisasikannya di bawah nasihat dan panduan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.
Dalam perasmian persidangan kali ini, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor juga bertitah agar dibangunkan satu Bangsa Johor yang tinggi sahsiah, patriotisme dan kesetiaannya kepada Johor. Ia mestilah bangsa yang kekal teguh dengan identiti yang unik, progresif dan berdaya saing. Namun, tidak melupakan akar budaya dan nilai tradisi Johor. Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku ini sudah tentu bertujuan agar konsep Bangsa Johor adalah satu konten realistik yang menjadi amalan dan diwariskan turun menurun oleh pelbagai kaum di Johor dan merentasi semua peringkat umur. Justeru, saya berharap Ahli-
Ahli Yang Berhormat menggunakan Dewan Negeri Johor yang mulia ini sebagai medan membahaskan titah DiRaja dengan penuh kesopanan dan kesusilaan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita dimaklumkan Yang Berbahagia Tuan Wang Ah Chin @ Wong Peng Sheng, bekas Ahli Dewan Negeri Kawasan Jementah mulai 21 Oktober 1990 hingga 5 April 1995 telah meninggal dunia pada 12 Januari 2025. Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Yang Berbahagia Tuan Wang Ah Chin @ Wong Peng Sheng.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dukacita juga dimaklumkan Yang Berbahagia Puan Jamaliah @ Jamilah binti Endan, bekas Ahli Dewan Negeri Kawasan Kukup mulai 29 November 1999 hingga 04 Mac 2004 dan 21 Mac 2004 hingga 13 Februari 2008 telah meninggal dunia pada 05 Mei 2025. Dewan ini turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Yang Berbahagia Puan Jamaliah Endan. Oleh itu marilah kita sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Bagi yang beragama Islam, kita membacakan Al-Fatihah dan bukan beragama Islam berdiri bertafakur selama satu minit. Silakan.
Terima kasih. Persidangan dimulakan sekarang.
Pembentangan Kertas-Kertas Mesyuarat.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2025.
Bilangan 1 Tahun 2025 – Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2025.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 2 hingga Bilangan 17 Tahun 2025.
Bilangan 2 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Johor Bahru Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 3 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 4 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 5 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kulai Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 6 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Muar Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 7 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Batu Pahat Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 8 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Kluang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 9 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Segamat Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 10 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pengerang Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 11 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Pontian Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 12 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Kota Tinggi Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 13 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Tangkak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 14 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Yong Peng Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 15 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Simpang Renggam Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 16 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Mersing Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bilangan 17 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Majlis Daerah Labis Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 18 Tahun 2025. Terima kasih.
Bilangan 18 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Perbadanan Stadium Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.
Assalamualaikum warahmatullah, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon membentangkan Kertas Mesyuarat Bilangan 19 Tahun 2025.
Bilangan 19 Tahun 2025 – Penyata Kewangan Perbadanan Islam Johor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin mengingatkan bahawa Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan diberikan tempoh masa selama lima (5) minit sahaja untuk menjawab soalan-soalan lisan dan tiga (3) minit untuk menjawab setiap soalan tambahan. Saya mohon kerjasama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri agar mematuhi masa yang diberikan.
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahita’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor satu (1). Apakah fungsi dan peranan penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar pada bulan Mac 2025 di Kuala Lumpur dan sejauh manakah ia berperanan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan di dalam kawasan FELDA terutama di dalam negeri Johor?
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat ADUN Pemanis membangkitkan apakah fungsi dan peranan penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor pada bulan Mac 2025 di Kuala Lumpur dan sejauh manakah ia berperanan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan di dalam kawasan FELDA terutama di dalam negeri Johor?
Yang Berhormat Datuk Speaker, FELDA negeri Johor terbahagi kepada dua (2) pejabat pengurusan wilayah iaitu Wilayah Johor Bahru dan Wilayah Segamat. Terdapat 73 rancangan FELDA di seluruh negeri Johor dengan keluasan 122,124.15 hektar meliputi penempatan dan ladang dengan jumlah peneroka seramai 27,642 orang dan lebih 180,000 warga FELDA keseluruhannya. Selain pihak pengurusan FELDA di setiap Rancangan terdapat empat (4) Badan Bukan Kerajaan atau NGO utama berkaitan FELDA iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) dan Kami Anak FELDA (KAF) yang berperanan sebagai tulang belakang rancangan dalam menjaga hal ehwal warga FELDA.
Bagi mengeratkan lagi perhubungan dan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan FELDA, kerajaan negeri Johor berpandangan bahawa satu sekretariat khas yang berperanan sebagai platform rasmi untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal FELDA perlu diwujudkan. Cadangan ini juga adalah lanjutan daripada Program Pemukiman atau Retreat Kepimpinan FELDA di Kuala Lumpur pada Disember 2024 yang lalu yang menyarankan agar setiap negeri menubuhkan sekretariat khas tersebut selari dengan fungsi dan peranan Sekretariat Muafakat FELDA Kebangsaan. Perkara ini juga adalah lanjutan daripada beberapa siri mesyuarat penyelarasan hal ehwal FELDA negeri Johor yang telah dilaksanakan yang melibatkan Wakil-Wakil Rakyat bersama pihak pengurusan FELDA, jabatan atau agensi kerajaan berkaitan serta lanjutan daripada siri turun padang atau sesi libat urus yang telah dilaksanakan oleh portfolio ini ke beberapa Rancangan FELDA seluruh negeri Johor.
Berdasarkan penyelarasan ini, pihak FELDA dapat menyelesaikan beberapa isu tertangguh dan mendapat maklum balas secara terus daripada pihak-pihak terlibat sama ada dari negeri, jabatan atau agensi mengenai isu dan permasalah yang dihadapi oleh Rancangan FELDA berkaitan. Justeru cadangan menubuhkan Sekretariat ini juga adalah langkah proaktif kerajaan negeri Johor untuk terus mendengar secara langsung mengenai permasalahan dan cadangan hala tuju pembangunan dan harapan warga FELDA di 73
Rancangan FELDA seluruh negeri. Secara umumnya fungsi Sekretariat Muafakat FELDA negeri Johor adalah seperti berikut :
1. Sebagai platform perbincangan yang strategik. Sekretariat ini nanti diharap menjadi wadah utama untuk membincangkan isu pengurusan, ekonomi dan sosial dalam rancangan FELDA di Johor.
2. Bertindak sebagai penyelarasan tindakan iaitu untuk menyelesai, untuk menyelaras strategi dan tindakan bagi menangani cabaran serta memperkukuh kerjasama antara negeri dan komuniti FELDA.
3. Libat urus pelbagai pihak. Penubuhan sekretariat ini nanti dijangka mendapat input dan pandangan daripada wakil peneroka, belia, wanita dan NGO berkaitan untuk memastikan keputusan yang inklusif.
4. Pelaksanaan agenda pembangunan, iatu bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negeri Johor yang inklusif hingga ke peringkat akar umbi termasuk warga FELDA.
Alhamdulillah, sekretariat ini secara rasminya telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 23 Mac 2025 di Menara FELDA Kuala Lumpur dengan disertai oleh kepimpinan setempat negeri Johor dan warga FELDA yang berada di perantauan. Dari segi struktur organisasi, Sekretariat ini dinaungi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan dipengerusikan oleh Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. Urus setia sekretariat adalah pihak FELDA Wilayah Johor Bahru dan Wilayah Segamat selain pihak pengurusan FELDA, keahlian dalam sekretariat ini juga merangkumi jabatan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian Johor, pemimpin pihak NGO berkaitan FELDA, kepimpinan setempat dan pihak-pihak yang boleh membantu dalam memastikan keberkesanan objektif dan peranan Sekretariat ini.
Antara perkara yang akan menjadi perhatian dan perbincangan utama dalam Sekretariat ini adalah mengenai isu hak milik tanah peneroka, hak milik lot generasi, hak milik lot kediaman generasi FELDA, Perumahan Generasi Baru FELDA atau PGBF, pembangunan infrastruktur asas bagi rumah kediaman lot generasi FELDA, pembangunan infrastruktur sosio-ekonomi dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh warga FELDA. Dengan adanya penglibatan pelbagai pihak yang berkaitan FELDA ini, maka kami percaya isu-isu berkaitan FELDA mampu diperhalusi serta diperbincang untuk penyelesaian. Semoga dengan adanya Sekretariat Muafakat FELDA ini, segala cabaran yang wujud, dapat ditangani bersama serta
memastikan kesejahteraan dan pembangunan FELDA di negeri Johor dapat diperkasakan dari semasa ke semasa. Terima kasih Yang Berhormat.
Ya, Pemanis, silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Tahniahlah kepada Dewan, cantik hari ni ada dua tv besar dan senang juga bila ada tv macam ini, senang nak tanya soalan tambahan. Saya berminat dengan status permohonan kediaman generasi baru. Ingin tanya kepada YB EXCO, boleh tak nyatakan berapakah jumlah kelulusan untuk perumahan ataupun lot tanah generasi baru FELDA yang ada pada hari ini dan adakah kerajaan negeri bercadang untuk membantu generasi baru membina rumah di atas tanah lot generasi FELDA ini. Mungkin dengan skim-skim baru yang disediakan oleh kerajaan negeri. Terima kasih Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Pemanis, yang membangkitkan soalan tambahan tadi.
Untuk makluman Ahli Dewan, daripada jumlah keseluruhan yang saya sebutkan tadi, iaitu 122,124 hektar jumlah keluasan FELDA meliputi penempatan dan ladang. Terdapat 16,276 permohonan bagi lot kediaman generasi FELDA yang telah diterima oleh FELDA iaitu 11,001 orang bagi Wilayah Johor Bahru dan 5,275 orang bagi Wilayah Segamat. Daripada jumlah 16,276 itu, yang telah lulus permohonan lot ialah sebanyak 11,733. Iaitu meliputi 8,223 bagi Wilayah Johor Bahru dan 3,510 bagi Wilayah Segamat. Manakala, daripada jumlah 11,733 ini, yang telah lulus ini yang telah menerima Notis 5A ialah sebanyak 10,044 orang. Iaitu 7,546 bagi Wilayah Johor Bahru dan 2,498 orang bagi Wilayah Segamat. Dan dari jumlah itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, daripada 10,044 ini pula yang telah terima hak milik ialah seramai 9,334 orang iaitu 6,923 bagi Wilayah Johor Bahru dan 2,411 orang bagi Wilayah Segamat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan kedua dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pemanis ialah berkenaan rancangan untuk pembinaan perumahan bagi mereka yang dah lulus. Ini ialah antara yang akan dibincang oleh Sekretariat Muafakat FELDA yang dijawab di awal tadi iaitu nak pastikan bahawa mereka yang telah menerima lot kediaman ini akan membina rumah, jangan dah dapat tanah tetapi tidak dibina akhirnya belukar. Untuk itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, ada pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh pihak FELDA dan agensi lain termasuk oleh kerajaan negeri. Dan, saya difahamkan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya difahamkan Dato’ Jafni, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan telah merancang, telah merangka bagi pihak kerajaan negeri untuk membantu warga FELDA, khasnya generasi baru FELDA yang telah menerima lot rumah ini, untuk bantu mereka bagaimana nak menyelesaikan isu permohonan pembinaan rumah kerana sebahagian mereka, kita faham, menghadapi kekangan untuk membuat pinjaman bank dan sebagainya.
Untuk itu, saya harap bukan sahaja ADUN Pemanis tapi siapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat lebih jelas tentang program pembinaan rumah termasuk di kawasan generasi kedua FELDA ini boleh berhubung dengan Dato’ Jafni, insya-Allah. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor dua (2). Terima kasih.
Berapakah bilangan permohonan rumah mampu milik yang telah diluluskan dalam tahun 2024.
Dijemput Yang Berhormat Sedili.
Bismillahirahmaanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor tiga (3).
Sedili mencadangkan agar, kerajaan negeri melaksanakan pembiayaan pinjaman Rumah Pertamaku Bangsa Johor untuk generasi baru Johor yang memiliki tanah dan ingin membina rumah dengan membuat pinjaman perumahan melalui bayaran pinjaman bulanan yang rendah.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor empat (4).
Apakah bantuan perumahan khusus yang dibina/dirancang pembinaannya untuk masyarakat luar bandar negeri Johor.
Sila.
Assalammualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab bersekali soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Sedili, Yang Berhormat Senggarang dan Yang Berhormat Jementah, kerana ia adalah perihal perumahan Rumah Mampu Milik.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Johor komited untuk mencapai sasaran penyediaan rumah Mampu Milik sebanyak 30,000 menjelang tahun 2026. Dan sehingga Q1 2025, sebanyak 16,845 unit telah mendapat CCC. Bagi memastikan Bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dengan memiliki kediaman yang berkualiti dan mampu dimiliki. Penyediaan Rumah Mampu Milik dilaksanakan secara tanggungjawab bersama atau kolektif responsibiliti melibatkan pelbagai agensi iaitu PKPJ, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan juga agensi-agensi teknikal berkaitan.
Kerajaan negeri juga telah menggerakkan satu Task Force Perumahan pada 8 Mei 2025 melibatkan 10 daerah. Ia dipengerusikan oleh YB EXCO angkat daerah-daerah bersama Pegawai-Pegawai Daerah. Ini untuk merancang dan mencadangkan tapak-tapak yang berpotensi, viable bagi pembinaan Rumah Mampu Milik melalui penggunaan tanah-tanah kerajaan, tanah rizab, penyelesaian penempatan setinggan dan pemerkasaan Rumah Kasih Johor di semua daerah. Kerajaan negeri melalui PKPJ yang telah mengenalpasti terdapatnya 14 DUN yang jumlah Rumah Mampu Milik masih rendah iaitu kurang 20 unit RMMJ di satu-satu DUN. Oleh itu, PKPJ merancang untuk memperbanyakkan RMMJ menerusi pembinaan Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan ADUN kawasan, DUN yang masih dan ADUN kawasan.
Bagi menjawab pertanyaan YB Jementah, kerajaan negeri sentiasa komited untuk menambah kawasan baru dalam melaksanakan pembangunan rumah mampu milik dan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif dan cakna terhadap keperluan rakyat yang semakin meningkat berdasarkan statistik penawaran RMMJ tahun 2024, sebanyak 31 projek Rumah Mampu Milik telah ditawarkan dengan jumlah keseluruhan unit merangkumi Kategori A, RM50,000,00; B, RM100,000.00; C, RM150,000.00; D, RM250,000.00 di luar bandar dan RM300,000.00 di dalam bandar sebanyak 2,326 unit. Manakala jumlah permohonan keseluruhan di Portal eRumah yang layak diundi adalah berjumlah 20,276.
Sebagai makluman Yang Berhormat juga, terdapat pembangunan Rumah Mampu Milik Johor yang dibangunkan di dalam kawasan DUN Bekok di daerah Segamat iaitu Residensi Bangsa Johor atau RSBJ Segamat di Mukim Chaah. Komponen pembangunan ini
melibatkan 122 unit RMMJ jenis C berharga RM150,000.00 dan 14 kedai KKS berharga RM200,000.00 seunit.
Untuk makluman Yang Berhormat Jementah, di daerah Segamat sebanyak 296 unit telah mendapat CCC. Sebanyak 342 unit RMMJ sedang dibina dan sebanyak 462 unit RMMJ dalam perancangan dan akan dibina di Segamat. Seterusnya, menjawab soalan yang dikemukakan oleh ADUN Sedili dan ADUN Senggarang berkenaan usaha kerajaan negeri dalam menyediakan perumahan Rumah Mampu Milik dan bantuan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar. Izinkan saya memberikan penjelasan menyeluruh dan terperinci berhubung dua inisiatif utama yang telah, sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor atau PKPJ.
Yang pertama, Rumah Kasih Johor (RKJ) merupakan program berbentuk bantuan bina baru secara percuma kepada golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam Sistem eKasih khasnya di kawasan luar bandar yang memerlukan kediaman asas yang selesa dan selamat. Program ini menekankan prinsip kesejahteraan rakyat dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dari segi tempat tinggal. Ciri-ciri utama Rumah Kasih Johor, pertama, dibina secara percuma oleh kerajaan negeri. Kedua, kelayakan tersenarai dalam Sistem eKasih, keutamaan kepada pemohon yang memiliki tanah sendiri. Secara dasarnya, pelaksanaan Rumah Kasih Johor sehingga 2025 adalah seperti berikut:-
Pada tahun 2023 sebanyak 50 unit rumah telah siap. 2024, 120 unit rumah akan siap pada tahun ini yakni 2025. Pada tahun 2025, peruntukan untuk 165 unit pada tahun 2025, fasa 1, 55 unit telah diperakukan dan pembinaan akan bermula 15 Mei 2025. Dan untuk tahun 2026, 165 unit lagi dalam perancangan.
Untuk makluman Sidang Dewan yang mulia, secara keseluruhannya kerajaan negeri melalui PKPJ telah memperuntukkan sepanjang empat (4) tahun ini, iaitu sebanyak 500 unit Rumah Kasih Johor atau Rumah Percuma dengan nilai peruntukan RM67 juta. Sebagai pelengkap kepada keperluan-keperluan B40 di luar bandar, kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif baru yang dikenali sebagai Rumah Prihatin Johor. Tadi, Rumah Kasih, ini Rumah Prihatin Johor. Inisiatif ini direka khusus untuk golongan B40 yang tidak tersenarai dalam eKasih. Maksudnya, dia level kedua, namun tetap memerlukan sokongan pemilikan rumah atas tanah sendiri. Ciri-ciri Rumah Prihatin Johor ini yang pertama, harga rumah RM86,000.00 seunit. Kerajaan memberi subsidi RM30,000.00 dan harga dibayar oleh
peserta sebanyak RM56,000.00. Keluasan binaan 660 kaki persegi, tiga (3) bilik, dua (2) bilik air di atas tapak sendiri milikan tunggal atau milikan bersama.
Perancangan projek ini, projek perintis telah bermula pada tahun ini yakni sebanyak 20 unit, 10 unit di daerah Kulai, dan 10 unit lagi di daerah Kluang. Dan tahun pelaksanaannya adalah pada tahun ini 2025. Sekiranya projek perintis ini berjaya dan mendapat sambutan menggalakkan, kerajaan negeri akan memperluaskan pelaksanaannya ke daerah-daerah lain khususnya dalam kawasan DUN yang masih kurang pembinaan Rumah Mampu Milik. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Skudai.
Terima kasih kepada Datuk Speaker, soalan saya nombor lima (5). Adakah terdapat data dari Pejabat Agama berkenaan kes kegagalan bayaran tuntutan nafkah oleh suami kepada isteri dan anak-anak apabila berlaku penceraian?
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Skudai bertanya tentang berapakah statistik kes kegagalan bayaran tuntutan nafkah oleh suami kepada isteri dan anak-anak apabila berlaku penceraian. Datuk Speaker, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor sebuah jabatan yang berfungsi dalam menguatkuasa, melaksanakan undang-undang syariah di negeri ini. Bagi isu penceraian, Sistem E-Syariah Versi 3 mempunyai data-data berkaitan kes-kes yang didaftarkan di mahkamah seluruh negeri Johor. Data-data ini hanya diperolehi selepas ada pihak yang memfailkan permohonan ke mahkamah dan maka sistem ini ESV3 akan mula mengumpulkan data. Berdasarkan data ESV3, jumlah permohonan penceraian yang difailkan dari tahun 2019 hingga 2024 adalah sebanyak 7,306 yang terkini pada tahun 2024. Lingkungan mereka yang menfailkan kes juga di paparan Yang Berhormat Datuk Speaker. Punca penceraian adalah sepertimana tiada persefahaman, masalah kewangan, tidak bertanggungjawab, campur tangan pihak luar dan juga gangguan pihak ketiga. Ini nakal sikit Datuk Speaker. Datuk Speaker, setakat 2025 April, kita mencatatkan kes sebanyak 109 kes. Bagi tahun keseluruhan 2024 ada 262 kes. Maka, kalau ikut setakat bulan April tahun ini Datuk Speaker, kes ini kes-kes penceraian seakan meningkat. Bagi tuntutan kes nafkah di Mahkamah Syariah Negeri Johor dari Mei hingga Disember 2024, kita mempunyai 2,062
kes. Dan kes ini melibatkan kesemua tuntutan seperti tuntutan nafkah, tuntutan mutaah, idah, nafkah anak-anak yang melibatkan seluruh negeri Johor. Kita juga dalam paparan ini, suka untuk menyatakan bahawa sekalipun kes-kes ini yang melibatkan kegagalan nafkah semakin meningkat tapi pihak kerajaan mempunyai kaedah mengatasinya terutama dalam memberikan sokongan kepada ibu-ibu tunggal dan tinggal ini. Kepada anak-anak yang juga mungkin terabai dengan keadaan para suami ataupun ayah yang tidak bertanggungjawab, Bahagian Sokongan Keluarga ditubuhkan. Bahagian ini akan membantu mahkamah dalam membuat seliaan perintah-perintah dan juga termasuk menghubungi para suami dan para bapa agar mengingatkan mereka tentang tanggungjawab membayar nafkah.
Berdasarkan pemantauan Bahagian Sokongan Keluarga, kes-kes ini sekiranya kita dapat kenal pasti ayahnya berada di mana, bekerja di mana akan lebih mudah Datuk Speaker. Kita bukan sahaja akan menghantar notis, tapi juga akan membuat lawatan ke tempat bekerja ayah ataupun suami tersebut. Bahagian Sokongan Keluarga menyediakan insentif berbentuk pelaksanaan 3P, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pelaksanaan serta Pendidikan. Melalui kaedah ini berdasarkan perintah mahkamah yang diberikan, ibu tunggal ataupun ibu tinggal ini akan diberikan pendahuluan nafkah oleh BSK selama tempoh enam (6) bulan. Maksudnya walaupun suami tadi tak guna Datuk Speaker, dia tak bertanggungjawab, abaikan keluarga ini memang jantan tak guna ini, BSK boleh bantu untuk berikan pendahuluan nafkah itu enam (6) bulan ke depan. Maksudnya, kalau ibu tunggal dan tinggal nak sayang kerajaan, sayang kerajaan ini. Kita jaga ibu tunggal dan tinggal ini baik-baik.
Sebelum ini Datuk Speaker, jumlah bantuan dana ini bersifat pinjam dulu, bayar kemudian. Tapi di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, kita buat pindaan dan penambahbaikan. Kita tidak lagi mengambil sebagai pendahuluan yang kena bayar balik, sebaliknya ada bantuan awal yang diberikan supaya sebahagian besar bantuan tersebut memang jadi milik ibu tunggal dan tinggal ini. Ini akan mengurangkan beban, tanggungjawab yang diabaikan oleh para bapa ataupun suami yang tak guna tadi itu.
Datuk Speaker, dan jumlah ini sebenarnya dibantu melalui kewangan MAIJ. Dari 2011 hingga 2024, MAIJ telah menyumbangkan sebanyak RM200,000.00 yang sekarang ini disifatkan sebagai bantuan nafkah bukan lagi pendahuluan. Maka saya kira, ini akan dapat memberikan kelegaan kepada ramai ibu tunggal dan tinggal di luar sana. Mudah-mudahan bantuan ini dapat memberikan kelebihan untuk ibu-ibu tunggal dan tinggal mengatur balik pengurusan keluarga mereka.
Bagi maksud prosiding pelaksanaan, ini bagi ibu-ibu yang dia memang geram Datuk Speaker. Suaminya ataupun bekas suaminya langsung tak endahkan nafkah tapi ibu-ibu ini boleh merujuk balik kepada mahkamah untuk melaksanakan perintah pelaksanaan. Ini boleh digunakan di bawah Seksyen 175 hingga 178 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor bagi kes Notis Penghakiman dan sekiranya kita dapati suami-suami tak bertanggungjawab ini bersalah. Datuk Speaker, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 179 dan Seksyen 181 Enakmen yang boleh dikenakan denda kepada bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab ini. Datuk Speaker, terima kasih.
Yang Berhormat, tak ada ke di Johor ini penceraian kerana media sosial? Sebab saya tengok ada satu TikTok, dia bawa family, isteri dia pergi makan tapi bila waktu nak makan, isteri dia sibuk main WhatsApp, tengok Shopee apa baju nak beli dan sebagainya. Suami geram, dia tampar isteri dia. Jadi, tak ada ke kerana kes-kes macam tu?
Datuk Speaker, saya percaya semua perihalan media sosial ini boleh juga menjadi akibat kepada penceraian. Cuma setakat ini saya memang tak termaklum kalau ada kes yang viral sebegitu di Johor. Tapi saya percaya macam yang saya sebutkan tadi, antaranya Datuk Speaker, penceraian ini disebabkan oleh perselisihan faham dan media sosial juga boleh menyumbang kepada gejala penceraian yang tidak sihat seperti ini Datuk Speaker, terima kasih.
Sebab itu kalau ada kursus-kursus perkahwinan masukkan ini satu bab ingatkan para isteri jangan sibuk main WhatsApp.
Datuk Speaker, terima kasih. Tadi bab jantan tak guna kadang-kadang juga ada perempuan yang dia terleka Datuk Speaker, terima kasih.
Jemput, Skudai.
Ok, terima kasih Datuk Speaker. Soalan tambahan saya adakah terdapat sokongan psikologi ataupun kaunseling yang disediakan untuk wanita yang berdepan dengannya masalah untuk menuntut tuntutan nafkah ini, maksudnya inilah kaunseling? Terima kasih.
YB Skudai, betul tadi yang saya dah sebutkan. Ada tiga (3) pelaksanaan insentif, 3P, Pemantauan, Penguatkuasaan, Pelaksanaan dan Pendidikan. Dan ibu-ibu dan yang datang kepada Bahagian Sokongan
Keluarga Mahkamah Syariah ini memang akan disalurkan kepada pihak kaunseling yang bertanggungjawab untuk memberikan panduan dan saranan bagaimanakah sepatutnya kawalan emosi dan pengurusan keluarga dibuat dan saya memohon sangat kepada ibu-ibu di luar sana yang memerlukan bimbingan Jabatan Kehakiman Syariah untuk merujuk kepada Bahagian Sokongan Keluarga yang bukan sahaja akan membantu dari segi perundangan dan penguatkuasaan tetapi juga dari segi pendidikan dan kawalan emosi. Terima kasih.
Jemput, Parit Raja.
Tenang, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Soalan tambahan ke?
Ya saya.
Maafkan saya, Tenang.
Dinyatakan tadi di antara masalah penceraian adalah gangguan pihak ketiga. Apakah ada undang-undang atau apa tindakan yang boleh diambil ke atas pihak ketiga ini? Jika ada, bagaimana caranya? Terima kasih.
Datuk Speaker, sebagai Peguambela, Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan Peguam Syarie Negeri Johor saya suka nak sebut memang di bawah Kanun Keseksaan pun ada peraturan Datuk Speaker. Bahawa, kalau kita ini memikat pasangan orang lain bagi tujuan persetubuhan Datuk Speaker, kasar ayatnya, dia boleh juga dikenakan tindakan. Maksudnya kita di Malaysia ini boleh gunakan dua-dua undang-undang. Para suami pun Datuk Speaker, dia bukan hanya untuk, lelaki yang kena ini, saya pun nak bela lelaki juga walaupun tadi saya katakan jantan tak guna tu, itu orang lain. Tapi bagi para suami yang baik Datuk Speaker, maaf cakap isterinya pula kena pikat, kena laporkan kepada PDRM, buat laporan. Sebab ada pula jantan tak guna yang lain kat luar tu dia memikat pulak bini si A ini, maka laporkan jantan tak guna itu. Semua usaha-usaha untuk memikat isteri-isteri yang malang ini, yang kononnya tadi insan lemah tapi yang dia melayan dah kenapa? Ini pun tak guna juga kalau ada bini macam ini. Jadi saya nak beritahu, semua peruntukan undang-undang sebenarnya memelihara keluarga. Maka, janganlah kita terpengaruh dengan ajakan-ajakan yang tak sihat Datuk Speaker. YB Tenang, mudah-mudahan perkara ini dapat kita harmonikan dalam keluarga
kita, ada masalah bincang. Rasa-rasa dah macam kurang selesa, pergi bercuti. Mudah-mudah ada kebaikannya. Wallahualam.
Saya jemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor enam (6).
Apakah silibus yang akan diperkenalkan dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor? Apakah perkara/silibus yang membuatkan Sekolah Bangsa Johor ini berbeza dengan sekolah di bawah KPM?
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang di atas soalan berkenaan dengan silibus yang diperkenalkan dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sekolah Rintis Bangsa Johor merupakan inisiatif pendidikan yang dicetuskan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk memperkasa pendidikan Johor dalam memacu kecemerlangan di peringkat global. SRBJ telah dilaksanakan di empat (4) buah sekolah terpilih sebagai projek rintis dengan matlamat untuk menyokong Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Antara empat (4) teras utama Sekolah Rintis Bangsa Johor ini, yang pertama adalah Penguasaan Bahasa Inggeris bagi guru dan murid. Ianya memberi latihan dan pembangunan profesional dalam memastikan penyediaan program latihan berterusan seperti bengkel yang berkaitan, perkembangan filologi dan teknologi pendidikan. Ia juga diadakan pengenalan modul Bahasa Inggeris, iaitu JELAR, Johor For English Learning and Reading yang diadaptasi dari Program STELLAR di Singapura untuk memastikan anak-anak fokus terhadap bidang Bahasa Inggeris. JELAR juga merupakan program pengajaran yang menyediakan bahan pengajaran, strategi pengajaran dan latihan bagi membolehkan guru melaksanakan sukatan pelajaran Bahasa Inggeris. Pendekatan ini bertujuan untuk mengukuhkan pengajaran Bahasa Inggeris melalui gabungan seimbang pengajaran eksplisit dalam kemahiran bahasa termasuk tatabahasa dan penggunaan cerita kanak-kanak yang sesuai dengan umur. JELAR juga merupakan program literasi interaktif yang memupuk keyakinan dalam pembelajaran Bahasa Inggeris menggunakan sastera kanak-kanak.
Kedua, penguasaan dan peningkatan enrolmen STEM. Latihan pembelajaran dan pemudahcaraan, PDPC STEM secara pendekatan strategik yang konservatif dan lebih menarik minat pelajar dengan menggabungkan teknologi dan inovasi di dalam pembelajaran diadaptasi dari modul pendidikan dari pakar-pakar STEM di Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura, National Institute Of Techonology In IT Singapore. Dari itu, bagi mengukuhkan pembelajaran berasaskan projek PBL dalam mata pelajaran STEM, guru-guru SRBJ telah diberi pendedahan dan bengkel bersama-sama guru-guru pakar dan lapan (8) pelajar kejuruteraan Jepun dari University Of Nigata dengan mengaplikasikan modul James Dyson Foundation dalam melahirkan pelajar yang berdaya saing, kreatif dan inovatif. Program ini juga adalah kerjasama di antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia dan James Dyson Foundation. Dan, SRBJ juga akan menyediakan pendidikan STEM yang berkualiti dengan sasaran enrolmen sekurang-kurangnya 70% murid mengambil aliran STEM menjelang 2030.
Ketiga, Pentaksiran Kompetensi Murid Yang Standard. Umum, kita maklum bahawa di peringkat kerajaan federal tiada lagi peperiksaan. Namun dalam program SRBJ ini melaksanakan sistem penilaian pencapaian murid yang standard di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah setaraf dengan Primary School Leading Examination (PSLE) dan International General Certificate of Secondary Education, (IGCSE).
Dan yang keempat, Kebolehpasaran Lepasan SPM. Memastikan 100% lepasan SPM di Johor melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi. Yang kedua bagi memperoleh pasaran pelajar lepasan SPM, SRBJ akan bekerjasama dengan Johor Talent Development Council dalam memastikan kesemua pelajar lepasan SPM menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya juga ingin turut mengumumkan bahawa baru-baru ini, empat (4) Sekolah Rintis Bangsa Johor telah berjaya diiktiraf sebagai Apple Distinguished Schools (ADS) menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mempunyai sekolah harian bertaraf dunia berasaskan teknologi digital sepenuhnya. Kerjasama di antara Apple Education, QSR Brand dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor juga membuahkan hasil yang luar biasa dengan 2,496 unit iPad telah diagihkan secara berfasa kepada semua murid dan guru. Ini membuktikan bahawa kesemua pelajar dan guru di Sekolah Rintis Bangsa Johor akan menerima iPad seorang satu.
Jadi, ini membuktikan bahawa akses kepada ekosistem pembelajaran Apple dan latihan khas untuk guru memperolehi Programme Apple Teacher. Selain itu, setiap teras dan inisiatif yang diperkenalkan dalam selari dengan objektif utama Kementerian Pendidikan
Malaysia iaitu untuk memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran (PDPC) serta meningkatkan kemahiran guru-guru. Semua inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa profesion keguruan dengan memberi fokus kepada peningkatan kualiti pendidikan dan perkembangan kompetensi guru dalam menghadapi cabaran abad ke 21.
Program dan aktiviti yang dilaksanakan adalah bersifat elemen sokongan kepada Dasar Pendidikan sedia ada. Dalam memberi nilai tambah untuk meningkatkan kompetensi guru serta kualiti dalam kemenjadian murid di Sekolah Rintis Bangsa Johor. Sekian, terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO. Nanti saya mohon yang presentation tadi tu dapat kongsi juga dengan saya. Soalan saya begini, Program SRBJ ini sangat baik. Kita tahu penilaiannya dalam tempoh enam (6) hingga satu (1) tahun, cuma bila kita sebut rintis, pilot sudah tentu dia ada jangka panjang atau pun jangka masa pendek. So, bila nak rintis ni selesai dan bila nak laksana pada sekolah-sekolah lain sebab kami-kami yang tak dapat ni jealous juga lah tengok. Tahniah pada empat (4) sekolah itu. Nak, nak pula tadi dengar dapat pengiktirafan antarabangsa yang Apple Distinguished Schools tu. So, bila pilot projek ini tempohnya dan bila nak kongsi dengan kami-kami ni di sekolah lain dan juga di daerah lain. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang di atas soalan tambahan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, agenda konservatif sekolah Rintis Bangsa Johor ini bukan agenda yang mudah. Langkah ini selaras dengan hasrat untuk menjadikan Johor sebagai peneraju dan pembangunan pendidikan yang berkualiti dan holistik. Walau bagaimanapun pihak Kerajaan Negeri Johor sentiasa berusaha untuk memastikan inisiatif yang dilaksanakan adalah relevan, bermanfaat dan tidak membebankan serta memberi impak positif kepada guru dan murid. Saya faham ke semua daerah juga menanti-nanti akan kehadiran SRBJ namun ini adalah perlaksanaan Rintis yang pertama hanya empat (4) sekolah dipilih dan insya-Allah dalam masa yang sama dalam nak menyokong kepada titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor di mana memerlukan kualiti pendidikan keseluruhan negeri Johor ianya akan mengambil masa yang sesuai dan hari ini kita pastikan rintis yang pertama ini sekiranya ia berjaya dan ia akan menjadikan model juga, akan diperluaskan ke setiap sekolah di peringkat daerah-daerah yang lain. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Simpang Jeram.
Assalamualaikum, salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Simpang Jeram nombor tujuh (7).
Johor Volunteers Forces, JVF menjadi platform penjawat awam negeri Johor diberikan latihan kesukarelawanan pengurusan kecemasan dan bencana. Apakah ada perancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan skim latihan ini khusus kepada anak muda Johor?
Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab soalan daripada YB Simpang Jeram. Soalannya berbunyi Johor Volunteer Forces yang mana nama singkatannya adalah JVF, yang mana menjadi juga platform Penjawat Awam Negeri Johor diberikan latihan secara kesukarelaan, pengurusan kecemasan dan juga bencana. Apakah ada rancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan skim latihan ini khususnya kepada anak muda dan sejauh mana pengisian program atau skim latihan dapat menarik minat kepada anak muda. Saya menjawab soalan YB Simpang Jeram.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di atas soalan itu saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Simpang Jeram yang mengambil berat tentang pelaksanaan Johor Volunteer Forces ataupun JVF dan masa depan Orang Muda Johor (OMJ). Saya mengajak Ahli-Ahli Dewan menyingkap sedikit sejarah. Berdasarkan sejarah asal tubuh penubuhan Johor Volunteer Forces ditubuhkan pada tahun 1905 oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar sebagai satu platform untuk melatih orang-orang Melayu yang berkhidmat dengan kerajaan dan menjalani latihan ketenteraan. Perkhidmatan ini juga berdasarkan secara kesukarelaan dengan menjalani proses-proses pelantikan dan perkhidmatan sukarelaan mengikut tempoh dan ia juga mempunyai syarat dan perlaksanaan yang nyatakan dalam Johor, The Johor Volunteer Forces Enactment 1917 Bil. 33 supaya anggota perkhidmatan awam mempunyai displin yang tinggi, cekap di dalam menjalankan tugasan pada ketika itu.
Dan, pada tahun 2021 bulan Mac, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah agar Kerajaan Negeri Johor menghidupkan semula pasukan sukarelawan JVF untuk menambah kecergasan pasukan sukarelawan JVF, untuk menambah, memperkasakan, mendisiplinkan pegawai-pegawai kerajaan. Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, aspirasi perlaksanaan JVF ini adalah untuk memberikan latihan, menekankan pembentukan disiplin, survival skill, dengan izin, serta kecergasan dalam kemahiran asas bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor kepada
Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Johor serta dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, lanjutan daripada itu, JVF telah pun didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan-Pertubuhan Malaysia (ROS) di bawah Seksyen 7, Akta Pertubuhan 1966 dengan objektif penubuhannya iaitu memberikan latihan yang merangkumi aspek pembangunan, kemahiran dan pengetahuan, pembentukan jati diri identiti Perkhidmatan Awam Negeri Johor, kemahiran di dalam pengurusan krisis dan juga situasi kecemasan, pembangunan skill kepimpinan dan peningkatan disiplin penjawat-penjawat awam di negeri Johor ini. Selain daripada itu juga Yang Berhormat Datuk Speaker, pembentukan ini juga membantu kerajaan negeri dalam operasi, penyampaian bantuan kecemasan dalam negeri yang sentiasa bersedia untuk diberikan tanggungjawab menjalankan tugas-tugas bersama dengan agensi perkhidmatan lain yang berkaitan dengan waktu kecemasan pandemik mahu pun bencana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, kerajaan negeri di bawah agensi Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor telah pun memulakan program JVF ini dengan Kursus Pemantapan Jati Diri Kecergasan Fizikal dengan kerjasama Askar Timbalan Setia Negeri Johor bermula pada 17 Julai 2022 dan tamat pada 31 Julai 2022 yang lepas. Seramai 29 orang Pegawai Tadbir Negeri Johor lantikan pada 2019 dan tahun 2022 terlibat dalam kursus yang menguji ketahanan, ketahanan diri, ketahanan fizikal-fizikal pegawai. Kursus ini disusun, disusun khusus melahirkan pegawai-pegawai yang berkualiti tinggi dengan sifat kepimpinan yang terunggul. Bagaimanapun, Program JVF ini diteruskan lagi dengan latihan kesukarelawanan, pengurusan kecemasan dan juga bencana bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang akan diadakan pada 9 Jun hingga 13 Jun 2025 akan datang di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan, Kluang. Pegawai-pegawai yang terlibat adalah kesinambungan dan kursus pemantapan Jati Diri Kecergasan Fizikal dengan kerjasama Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang terdahulu. Kursus ini bertujuan bagi pembangunan kemahiran insaniah dan berdasarkan perlembagaan pertubuhan tiada perancangan, tiada perancangan untuk dilanjutkan kepada orang luar setakat ini kerana pertubuhan JVF disebut secara nyata adalah terbuka kepada Penjawat Awam Negeri Johor sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara inisiatif utama yang diumumkan juga termasuklah program-program JVF ini akan diperluaskan untuk kumpulan-kumpulan belia yang diberikan nama Johor Youth Patriot di bawah tanggungjawab dan seliaan Institut Dato’ Onn (IDO). Johor Youth Patriot adalah inisiatif Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama JMF yang bertujuan memberikan latihan kepimpinan kepada belia-belia di Johor melalui pendekatan-
pendekatan berasaskan ketenteraan. Program ini juga berusaha memupuk disiplin, ketahanan mental dan juga fizikal. Insya-Allah, Yang Berhormat Datuk Speaker, latihan dan modul akan disampaikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman yang datangnya daripada Johor Military Force (JMF) meliputi aspek-aspek ketenteraan, kepimpinan dan juga pembentukan disiplin setiap sesi akan disusun bagi memastikan dapat belajar menerapkan kemahiran yang dipelajari secara praktikal. Insya-Allah sasaran peserta pertama yang akan menyertai Program Johor Youth Patriot ini seramai 200 peserta yang akan datang dan berkursus selama 11 hari. Insya-Allah di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram yang dijangkakan pada akhir bulan Ogos sehingga pertengahan September ini. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Penawar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Penawar nombor lapan (8).
Apakah tindakan kerajaan negeri bagi meningkatkan respons satu satu kes kecemasan di Kota Tinggi? Adakah terdapat tindakan bagi meningkatkan jumlah ambulans terutamanya di DUN Penawar?
Dijemput Yang Berhormat Kemelah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor sembilan (9). Terima kasih.
Apakah tindakan kerajaan negeri bagi menampung kekurangan ambulan dan katil di Hospital Segamat? Ini adalah kerana maklum balas bagi sesuatu kes kadang kala mengambil masa yang terlalu lama hingga mencecah 1-2 jam bagi setiap kes.
Dijemput Yang Berhormat Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10.
Bilakah Hospital Segamat akan ditambah ambulans?
Terima kasih. Salam Maju Johor, salam perpaduan Datuk Speaker dan seisi Dewan sekalian. Terima kasih soalan daripada YB Jementah, Penawar dan Kemelah. Izinkan saya jawab ketiga-tiga soalan sekali
kerana ADUN Jementah, Penawar dan Kemelah telah bangkitkan isu ambulan dan institusi kesihatan bagi kawasan masing-masing.
Sidang Dewan sekalian, pada ketika ini Hospital Segamat mempunyai enam (6) buah ambulan yang berfungsi. Bilangan ambulan sedia ada mencukupi bagi menampung bilangan panggilan kecemasan dalam daerah Segamat dan interfacility transfer, dengan izin. Yang Berhormat Kemelah telah membangkitkan mengenai apakah tindakan kerajaan negeri bagi menampung kekurangan ambulan dan katil di Hospital Segamat. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini jumlah ambulan dan katil di Hospital Segamat adalah mencukupi. Terdapat sejumlah enam (6) bulan ambulans yang beroperasi di Hospital Segamat manakala kadar penggunaan katil harian bagi Hospital Segamat adalah 78%. Untuk makluman Yang Berhormat juga, Hospital Segamat telah menerima sebuah bangunan baharu dengan nilai sejumlah RM75,351,000.00 yang mana telah diserah pada 25 Februari 2023 dan telah beroperasi pada 01 April 2023. Oleh itu setakat ini masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan bagi daerah Segamat.
Menurut data panggilan ambulans Hospital Segamat, 78% hingga 89% kes masa respons dan ketibaan ambulans adalah dalam tempoh 15 minit manakala 11% hingga 22% kes masa ketibaan dalam tempoh 16 hingga 34 minit. Selain daripada itu, beberapa klinik kesihatan berdekatan juga akan menghantar ambulans bagi respons kepada penggilan kecemasan di lokasi yang berdekatan dengan klinik kesihatan. Telah wujud sistem yang menyelaraskan panggilan kecemasan dari seluruh negeri Johor iaitu MECC. Ambulans yang respons bukan hanya terhad kepada hospital sahaja malahan ianya juga melibatkan klinik-klinik kesihatan yang mempunyai kemudahan ambulans, sistem ini terpakai di seluruh negeri Johor.
Untuk makluman Datuk Speaker dan seisi Dewan sekalian, Johor bakal menerima 37 buah ambulans tambahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia lagi iaitu 16 buah akan di tempatkan di hospital daerah masing-masing dan juga 21 buah akan di tempatkan di klinik-klinik kesihatan. Untuk maklumat semua, di Hospital Segamat akan menerima satu (1) buah ambulans tambahan lagi dan untuk di daerah Segamat di Klinik Kesihatan Segamat, Klinik Kesihatan Paloh Timur juga akan menerima ambulans tersebut. Bagi YB Penawar, Klinik Kesihatan Bandar Penawar juga akan menerima satu (1) buah ambulans baharu. Bagi jiran pula, Tanjung Surat juga akan menerima satu (1) buah tetapi peruntukannya daripada pihak kerajaan negeri.
Untuk maklumat tuan-tuan dan puan-puan, untuk maklumat seisi Dewan, kerajaan negeri juga melalui Bajet Belanjawan Johor telah mengumumkan sebanyak empat (4) buah ambulans yang bakal di tempatkan di beberapa buah daerah iaitu di daerah Tangkak, Batu
Pahat, Mersing dan Kota Tinggi dan tiga (3) buah khas untuk Klinik Gelang Patah, Klinik Kesihatan Majidee dan juga Tebrau. Oleh itu jumlah keseluruhan ambulans tambahan bagi negeri Johor adalah 44 buah.
Untuk makluman seisi Dewan sekalian, kerajaan negeri juga mengumumkan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.2 juta bagi menaik taraf wad kecemasan di 12 hospital di negeri Johor dengan peruntukan yang ada digunakan bagi pembelian peralatan perubatan dan kerja-kerja menaik taraf. Ia dijangka dapat meningkatkan kualiti sistem kesihatan awam selain dapat memberi keselesaan yang lebih kondusif kepada mereka yang dapat rawatan dan juga untuk makluman YB-YB yang membawa soalan pada Dewan ini, Hospital Segamat akan menerima RM70,000.00 dan juga Hospital Kota Tinggi juga akan menerima RM70,000.00. Sekian.
Ya, jemput siapa nak bangun dulu? Jemput apa ni, Penawar eh.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya, memandangkan Pengerang sedang membangun, adakah kerajaan merancang untuk membina fasiliti hospital di Pengerang? Terima kasih.
Terima kasih YB Penawar. Untuk makluman, KKM setakat ini belum ada lagi perancangan untuk membina fasiliti hospital di kawasan Pengerang. Tetapi, pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah dapat kelulusan untuk pembinaan satu Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) dengan peruntukan RM938 juta di daerah Kota Tinggi dan juga dekat dengan Pengerang. Dan setakat ini, dia berada di tahap untuk apa ni, kerja awalan dan juga sedang buat persiapan untuk menyediakan dokumen-dokumen tender, mudah-mudahan kalau segala prosesnya dijalan dengan lancar, tahun hadapan kerja-kerja untuk pembinaan akan dimulakan. Sekian, terima kasih.
Jemput Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan saya adalah seperti yang dimaklumkan dari Yang Berhormat EXCO tadi, masa tindak balas ambulans adalah 15 minit. Tapi, saya sudah terima tiga (3) aduan bahawa maklum balas daripada hospital ataupun panggilan, sekurang-kurang 30 minit untuk tunggu ambulans. Salah satu aduan daripada
saya punya makcik bahawa 30 minit untuk tunggu satu (1) ambulans. So, kalau seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat EXCO kalau nombor bilangan ambulans adalah mencukupi, kenapa kita boleh terima sebanyak tiga (3) aduan? Terima kasih.
Ok, terima kasih YB Jementah, kerana saya belum ada maklumat yang terperinci oleh itu saya minta YB Jementah boleh bekalkan maklumat terperinci kes tersebut supaya kami boleh jalankan siasatan. Tetapi, sebagai biasanya kalau Jementah dia lebih kurang sama dengan kawasan saya, Yong Peng. Biasa terletak jauh daripada fasiliti hospital dan juga di khidmat dengan satu (1) klinik dan juga satu (1) ambulans. Kalau klinik, kalau ambulans satunya dipanggil ataupun dijalankan tugas dengan satu (1) ambulansnya, kadang-kadang ambulans telah ada tugasnya kalau ada kes yang kedua untuk berlaku, pihak Kesihatan perlu apa ni mengaturkan supaya klinik berdekatan ataupun hospital datang daripada klinik lain atau hospital dengan jarak yang lebih jauh. Oleh itu, masa yang yang digunapakai juga akan lebih lama dan juga saya minta perinci daripada pihak YB Jementah supaya kami jalankan siasatan tersebut mengenai tiga (3) kes tersebut. Sekian, terima kasih.
Sila, Yang Berhormat Kemelah.
Terima kasih YB EXCO, soalan tambahan saya, KK Segamat yang sedang dalam pembinaan, minta EXCO jelaskan bila akan siap dan beroperasi? Terima kasih.
Ok. Terima kasih YB Kemelah dan tahniah juga kepada warga Segamat kerana fasiliti kesihatan, Klinik Kesihatan Segamat yang jenis dua (2) ini dah selesai untuk pembinaannya dan sekarang di peringkat untuk final checking dengan izin iaitu untuk dokumen-dokumen penyerahan. Dan klinik ini dibina dengan peruntukan RM26,470,000.00 itu dah sehingga ke tahap penghujung dah. Kalau segalanya jalan dengan lancar, klinik tersebut akan diserahkan kepada pihak Kesihatan pada 30 Jun dan mudah-mudahan ia akan beroperasi pada hujung bulan Julai dan menawarkan perkhidmatan kepada warga Segamat. Sekian, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 11.
Apakah jenis kursus atau latihan yang diberikan kepada petugas-petugas di Program Pemulihan Dalam Komuniti agar mereka mempunyai kemahiran tertentu untuk mengasuh serta mendidik anak-anak yang berkeperluan khas.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Pemanis. Soalan yang diberikan kepada saya adalah jenis kursus atau latihan yang diberikan kepada petugas-petugas di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) agar mereka mempunyai kemahiran tertentu untuk mengasuh serta mendidik anak-anak yang berkeperluan khas.
Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan Orang-orang Kurang Upaya di negeri ini. Dimaklumkan di negeri Johor mempunyai sebanyak 73 buah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti seramai 426 petugas dan seramai 2,496 pelatih OKU yang sedang menjalani Program Pemulihan di PPDK. Bagi memastikan petugas PPDK ini mempunyai kemahiran untuk memberi pemulihan kepada pelatih OKU, JKM juga telah menganjurkan Kursus Asas Petugas PPDK berdasarkan peruntukan sedia ada bagi memberi peluang pada petugas menimba ilmu pengetahuan dalam pengurusan OKU di PPDK. Antara pengisian dalam kursus asas ini adalah pengenalan tentang PPDK, peranan dan tanggungjawab PPDK, pengurusan dan pengendalian rekod-rekod, pengenalan asas fisioterapi, intervensi awal, pengendalian aktiviti rutin harian pelatih PPDK, perkembangan dan pembelajaran pengurusan dan pengendalian aktiviti kemajuan serta pemulihan dan kemahiran. Di samping itu, taklimat berkenaan Garis Panduan Bantuan Kewangan Kerajaan (BKK) kepada Ahli Jawatankuasa Penyelia dan Petugas juga dijalankan agar mereka mendapat pengetahuan berkenaan dengan perjalanan pengurusan kewangan di PPDK dan bantuan kewangan yang disalurkan dibelanjakan dengan betul serta menepati klausa yang terkandung dalam perjanjian.
Datuk Speaker, sukacita dimaklumkan bahawa melalui Pembentangan Belanjawan 2025 yang bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera, sejumlah RM300,000.00 telah diperuntukkan bagi Program Pemulihan dan Kemahiran Pelatih OKU di bawah Inisiatif Ke-20 Teras Ketiga Jaringan Keselamatan Sosial. Bagi maksud melaksanakan inisiatif ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor telah mengenal pasti program ini bagi memberi perkhidmatan pemulihan berasaskan Modul Terapi yang akan memberi manfaat kepada seramai 200 pelatih di lima (5) buah PDK di negeri Johor. Program Rintis ini juga memberi manfaat kepada 33 orang penyelia dan petugas PPDK yang akan dilatih dan didedah dengan kaedah pemulihan oleh agensi yang dilantik. PPDK yang terpilih untuk Projek Rintis
ini adalah PPDK Skudai, PPDK Rengit, PPDK Bandar Tenggara, PPDK Impian Suria DUN Machap dan PPDK Serom.
Datuk Speaker, dimaklumkan juga di bawah Inisiatif Ke-21 Teras Ketiga Jaringan Keselamatan Sosial, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM110,000.00 bagi pelaksanaan Kursus Disability Equality Training dan Kursus Asas Job Coach kepada petugas PPDK, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Tujuan Kursus Asas Job Coach ini adalah untuk menyediakan Kursus Asas Sokongan Pekerjaan Profesional kepada OKU dan majikan melalui Program Mentor Mentee supaya OKU dapat masuk dan kekal di pasaran pekerjaan tanpa kembali ke PPDK semula. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, sila, Pemanis.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberikan. Sebenarnya kita, kita faham dan kita tahu memang bukannya mudah untuk menjaga anak-anak golongan OKU ini. Dan terima kasih kepada petugas-petugas PDK yang begitu sabar menjaga anak-anak kita ini. Cuma dalam keprihatinan kerajaan pada hari ini untuk membantu menjaga anak-anak OKU ini adakah pihak JKM mempunyai penyelarasan bersama dengan Pusat Dalam Komuniti ataupun PDK ini untuk menyediakan tempat dan ruang bagi anak-anak istimewa ini selepas tempoh mampu mereka berdikari sendiri. Saya fikir ini juga adalah satu perkara yang penting untuk kerajaan negeri selaraskan. Terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Pemanis di atas soalan tersebut.
Datuk Speaker, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti merupakan program yang memerlukan penyertaan dan penglibatan aktif OKU, ibu bapa, keluarga, penjaga dan masyarakat setempat dengan memaksimumkan penggunaan sumber tempatan yang sedia ada dalam komuniti. PDK juga merupakan satu pendekatan pembangunan ke arah sokongan dan kesedaran masyarakat dalam membantu Orang Kurang Upaya untuk mengecapi taraf hidup yang lebih selesa.
Datuk Speaker, bagi memastikan OKU ini mampu berdikari, dapat bersaing dan kekal dalam alam pekerjaan, JKM telah melaksanakan Program Job Coach untuk membantu OKU ini mendapatkan pekerjaan dan pengekalan dalam industri pekerjaan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam (6) bulan selaras dengan matlamat yang ditetapkan seperti berikut:-
Pertama, pendekatan untuk mempromosikan pekerjaan kepada OKU. Kedua, menjadi pengantara, penghubung OKU dengan syarikat atau organisasi sepanjang proses bekerja. Membantu membuat penyesuaian diri dalam persekitaran dan bidang kerja, mengambil kira tahap keupayaan masing-masing. Mewujudkan hubungan saling memahami OKU antara majikan dan rakan sekerja dan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kekal dalam pekerjaan.
Datuk Speaker, usaha ini dilakukan tidak akan berjaya jika masyarakat dan majikan tidak diberikan pendedahan atau kefahaman berkaitan ketidakupayaan dan halangan yang dihadapi oleh OKU terutamanya apabila bekerja dengan mereka. Sehubungan itu, Jabatan telah menganjurkan satu Bengkel Disability Equality Training kepada majikan, agensi kerajaan dan swasta dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman berkaitan ketidakupayaan dan halangan yang dihadapi oleh OKU terutama apabila bekerja dengan mereka. Bengkel ini untuk memahami ketidakupayaan ke arah insklusif mereka seperti berikut:-
Pertama, memahami dan mampu membezakan terma ketidakupayaan dengan kekurangan atau kecacatan mereka, memahami OKU daripada sudut dalaman psikologi dan luaran psikososial termasuk budaya hidup mereka. Memahami punca dan situasi yang menjadi penyebab timbulnya isu ketidakupayaan seperti halangan fizikal, pengasingan sosial, halangan penyertaan, diskriminasi dan persepsi dan keempat dapat mengadakan perancangan dan tindakan untuk membolehkan OKU turut serta di dalam masyarakat hari ini. Terima kasih Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat, Yang Berhormat Kempas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.
Kesesakan di Johor Bahru kian memburuk saban hari. Apakah langkah yang sedang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu ini, dan adakah wujud pelan jangka pendek serta jangka panjang yang dirangka khusus untuk bandar Johor Bahru?
YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kempas. Kerajaan negeri Johor sedia maklum dan amat prihatin terhadap isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di kawasan Greater Johor Bahru.
Kesesakan ini berpunca daripada pertambahan pesat jumlah kenderaan persendirian, pembangunan bandar yang rancak, pertumbuhan penduduk yang tinggi serta peningkatan pergerakan rentas sempadan secara harian.
Justeru itu, bagi menangani isu ini secara menyeluruh dan mampan, kerajaan negeri telah merangka Master Plan Penyuraian Trafik. Pertama sekali, Jawatankuasa Khas di peringkat negeri telah ditubuhkan bagi mengenal pasti kawasan tumpuan kesesakan dan sehingga kini, kita menyenaraikan lebih kurang sebanyak 77 kawasan kesesakan yang telah dikenal pasti dan lebih daripada 20 lokasi telah pun kita ambil tindakan. Antaranya ialah dengan memasang barrier laluan, papan info trafik, penguatkuasaan semasa waktu puncak dan perkara ini telah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan. Antara kawasan hotspot yang telah dirangka Pelan Penyuraian ialah penutupan Jalan Ledang menghala ke Lebuhraya Skudai yakni susur keluar dari Taman Johor ke Skudai, yang dilihat berjaya mengurangkan tekanan trafik di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang dihormati sekalian, selain kita mengenal pasti kawasan-kawasan hotspot ini, kita juga telah menghantar sebanyak 18 projek bernilai hampir RM18 bilion kepada Highway Network Development Plan, HNDP di peringkat Kementerian Kerja Raya untuk mereka bantu kita menyusun meneliti cadangan-cadangan ini supaya kita dapat menyusun perkara-perkara ini dalam RMK-RMK yang akan datang ini. Ini termasuklah menambah kapasiti jalan raya termasuk pelebaran jalan, pembinaan jalan pintas baharu, penyelenggaraan berkala bagi memastikan sistem trafik dapat menampung pertambahan kenderaan dan pembangunan pesat di kawasan Johor Bahru. Melibatkan pembinaan jalan baharu, pelebaran jalan sedia ada serta sistem pengurusan trafik yang lebih moden bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kepadatan trafik masa depan. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Projek Rapid Transit System, RTS Link Johor Bahru - Singapura yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodland North Singapura dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam sehala dijangka akan mula beroperasi pada 01 Januari 2027 sebagai pemacu utama untuk mengurangkan kenderaan persendirian dan kesesakan di Tambak Johor. Kita jangkakan kekerapan train ialah 3.6 minit semasa waktu puncak selain projek-projek QR Code yang akan dilaksanakan di dalam di kawasan Immigration CIQ kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu projek perkhidmatan Electric Train System Service, ETS. Perkhidmatan ETS ini alah sebagai langkah menyokong sistem pengangkutan awam bersepadu di Johor. Perkhidmatan ETS telah pun beroperasi sehingga ke Segamat pada 15 Mac yang lalu dan jangkaan pengoperasian seterusnya ialah ke Kluang pada awal
Ogos 2025. Dan, fasa awal dijangka mula beroperasi sehingga ke Johor Bahru ialah pada Disember 2025. Pada fasa awal perkhidmatan ini akan menawarkan tiga (3) trip sehari dan akan ditambah kepada lapan (8) trip sehari mulai Januari 2026 serta 16 trip sehari bermula Januari 2027. Ia akan melibatkan 10 stesen iaitu Segamat, Labis, Bekok, Paloh, Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai, Kempas Baru dan juga JB Sentral. ETS ini menawarkan kapasiti sehingga 312 penumpang bagi setiap perjalanan dan dijangka mampu menjadi mod pengangkutan antara bandar yang lebih selesa, pantas dan juga efisien.
Dengan perjalanan rel dan trip yang lebih kerap dan masa perjalanan yang lebih singkat berbanding perkhidmatan konvensional, ETS berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan menyokong mobiliti antara kawasan-kawasan lain ke Johor Bahru. Selain itu, sistem aliran Transit Automasi Bertingkat, Elevated (ART), bakal merangkumi tiga (3) koridor utama iaitu Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri yang akan berintegrasi di stesen pertukaran utama Bukit Chagar seterusnya menyokong pula sistem RTS. Sekarang pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah memulakan proses Request for Proposal dengan izin, RFP bagi pelaksanaan Sistem Elevated ART ini bagi melengkapkan Sistem Pengangkutan Bersepadu di Greater Johor Bahru. Cadangan jajaran akhir dijangka diketahui seawal Ogos 2025 tertakluk kepada hasil penilaian RFP tersebut. Pelaksanaan ART ini dijangka memberi manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas mempercepatkan mobiliti harian dan menyokong agenda rendah karbon negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, itu tadi cerita pasal elevated ART, RTS dan juga ETS. Saya pergi kepada perkhidmatan bas awam. Alhamdulillah pada 01 April yang lalu, kita telah mendapat kontrak baharu myBAS Johor Bahru SBST oleh APAD dengan pertambahan bas dengan 128 unit kepada 168 unit dan kita boleh meningkatkan kekerapan sehingga 15 ke 20 minit perkhidmatan ini semasa waktu puncak. Dan, perkhidmatan ini akan diintegrasikan pula dengan Bas Muafakat Johor oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor supaya ianya lebih menyeluruh di kawasan Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu kita ada juga perkhidmatan KTM Intercity. Empat (4) trip sehari. Shuttle Tebrau, JB Sentral ke Singapura 31 trip dan juga ETS Service yang dijangkakan 16 trip sehari. Selain itu, kerajaan negeri telah pun memohon pertimbangan Kementerian Pengangkutan untuk pembelian 12 unit kereta api unit train electric baharu yakni, setiap satu unit ada tiga (3) gerabak untuk kita tambah kapasiti daripada Johor Bahru, JB Sentral ke Paloh sebanyak 22 trip sehari dan juga JB Sentral ke Kulai, 21 trip sehari. Baru-baru ini kita juga telah menyiapkan jajaran 40 kilometer perkhidmatan kargo Kempas Baru ke Pasir Gudang. Sepatutnya yang dijadualkan projek menaik taraf ini 24 bulan dapat dikurangkan ke enam (6) bulan apabila kita mengambil langkah yang begitu drastik dan
berani dengan menutup sepenuhnya laluan ini supaya projek ini dapat disiapkan dalam tempoh masa enam (6) bulan dan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan yang turut mengumumkan selain dari perkhidmatan kargo ini ianya juga boleh digunakan sebagai perkhidmatan train penumpang daripada Pasir Gudang ke Kempas Baru dan insya-Allah, kita peringkat negeri akan mencadangkan tiga (3) lokasi stesen di sepanjang jajaran tersebut untuk diadakan untuk perkhidmatan servis penumpang ini.
Kesimpulannya Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor sangat komited untuk menangani isu kesesakan trafik di Bandaraya Johor Bahru melalui master plan yang telah dirangka secara holistik melibatkan semua pihak, semua agensi untuk memastikan penyuraian trafik, penaiktarafan infrastruktur jalan raya dan pengukuhan sistem pengangkutan awam demi memastikan mobiliti rakyat yang lancar selamat dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang lestari, terima kasih.
Saya jemput, Yang Berhormat Kemelah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah No 13. Terima kasih.
Nyatakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang telah dibentuk di negeri Johor serta berapakah peruntukan tahunan KRT dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang 2023 hingga 2024?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kemelah atas soalan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Skim Rukun Tetangga, atau lebih dikenali sebagai RT mula diperkenalkan pada tahun 1975 berikutan dengan berkuatkuasanya peraturan-peraturan perlu Rukun Tetangga 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969. Matlamat utamanya ketika itu adalah untuk membantu menjaga keselamatan kawasan kediaman berikutan isu-isu keselamatan negara. Skim ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak pada 29 Ogos 1975 di sektor Rukun Tetangga Kampung Kassipilay Kuala Lumpur. Tahun ini sudah genap 50 tahun. Pada tahun 1983, kerajaan telah menyusun semula skim Rukun Tetangga dengan memberi penekanan kepada Konsep Semangat Kejiranan untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan komuniti setempat beralih daripada fokus keselamatan semata-mata. Seiring perubahan semasa dan keperluan komuniti yang semakin kompleks pada tahun 2001, Rukun Tetangga telah memberi fasa baharu iaitu Konsep Pembangunan Komuniti. Konsep ini bertujuan meluaskan lagi peranan RT dalam pembangunan sosial dan komuniti. Seterusnya modul transformasi Rukun
Tetangga pula diperkenalkan pada tahun 2010. Modul ini berpaksikan pada lima (5) teras utama, iaitu :
1. Perpaduan. Memupuk persefahaman dan keharmonian antara kaum. 2. Ekonomi. Meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat. 3. Keselamatan. Menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan kejiranan. 4. Pendidikan. Meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran komuniti. 5. Kualiti hidup. Mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup secara menyeluruh.
Selepas Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan pada 10 Mac 2020, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021 - 2030 telah dirangka. Pelan ini dijadikan sebagai dokumen hala tuju strategi Rukun Tetangga di Malaysia. Menggariskan strategi dan inisiatif untuk memperkasa lagi peranan dan fungsi RT dalam dekad yang akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga tahun 2025 jumlah kawasan Rukun Tetangga yang telah dibentuk di negeri Johor adalah sebanyak 870 kawasan. Daripada jumlah tersebut status pengaktifan KRT adalah seperti berikut, 600 kawasan Rukun Tetangga dikategorikan sebagai sangat aktif. 116 kawasan Rukun Tetangga adalah aktif dan 153 kawasan Rukun Tetangga berada di dalam tindakan untuk diaktifkan semula. Akta Rukun Tetangga 2012, Akta 751 khususnya Seksyen 8A hingga E telah menjelaskan peranan dan fungsi Jawatankuasa Rukun Tetangga yang dilantik di bawah Seksyen 5. Selari dengan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga pelbagai aktiviti untuk manfaat komuniti dilaksanakan di bawah Tema Gerak Kerja KRT Sejahtera Selamat, Sihat, Bersih dan Indah. Contoh aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan termasuklah.
1. Program Dialog Antara Komuniti Sambutan Perayaan Berbagai Kaum, Aktiviti Sukaneka dan Hari Keluarga. 2. Program Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kempen Kesedaran Jenayah kerjasama dengan pihak PDRM. 3. Program Senamrobik, Ceramah Kesihatan, Saringan Kesihatan Percuma. 4. Gotong royong membersihkan kawasan perumahan, kempen kitar semula. 5. Pertandingan landskap antara rumah, penanaman pokok dan mural komuniti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap KRT di seluruh negara termasuk di Johor menerima geran tahunan berjumlah RM6,000.00 yang disalurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional setiap tahun. Dengan peruntukan ini, Jawatankuasa RT berjaya merancang dan melaksanakan berbagai aktiviti dengan kreatif sepanjang melalui penjanaan
dana tambahan dan juga kerjasama dengan pelbagai pihak. Di negeri Johor pada tahun 2023, sebanyak 3,957 aktiviti telah berjaya dilaksanakan di kawasan RT seluruh negeri Johor. Pada tahun 2024, berlaku peningkatan kepada 4,396 aktiviti iaitu penambahan sebanyak 439 aktiviti berbanding tahun sebelumnya. Peruntukan khas kerajaan negeri Johor sebagai tanda komitmen dan pengiktirafan kepada peranan komuniti RT pada 2025 telah dijalankan. Julung kalinya Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga berjumlah RM600,000.00. Bantuan ini akan disalurkan pada 600 kawasan Rukun Tetangga yang sangat aktif dengan setiap KRT tersebut menerima RM1,000.00 sebagai bantuan tambahan. Bantuan khas ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam Belanjawan Kerajaan Negeri Johor 2025 dan bertujuan untuk menyokong usaha pembangunan komuniti yang dilaksanakan oleh KRT. Terima kasih.
Sila Kemelah.
Terima kasih YB EXCO. Soalan tambahan saya, bagaimana menentukan kawasan Rukun Tetangga yang berstatus aktif, sederhana aktif dan tidak aktif? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kemelah soalan tambahan. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah memperkenalkan sistem maklumat perpaduan, SISMED. Salah satu modul di dalam sistem maklumat perpaduan adalah modul e-RT. Modul ini dibangunkan untuk menyimpan maklumat kawasan Rukun Tetangga yang ditubuhkan dari segi jumlah KRT mengikut negeri dan tahap keaktifan KRT. Di samping itu modul ini memudahkan carian setiap KRT mengikut pecahan Parlimen. Dewan Undangan Negeri DUN, bilangan kaum, jantina dan lain-lain. Hal ini memudahkan pegawai untuk mengakses dan menyelaras setiap data yang diperlukan oleh semua pihak dari masa ke semasa. Melalui model ini Ahli Jawatankuasa Utama Rukun Tetangga boleh membuat laporan aktiviti, minit mesyuarat dan laporan kewangan sebagai penentuan prestasi keaktifan KRT. Manakala Pegawai Perpaduan boleh memantau keaktifan KRT melalui sistem ini dari semasa ke semasa. Model e-RT merupakan perkhidmatan E to E, iaitu lebih dikenali end to end, di mana semua proses mulai permohonan sehingga semakan status permohonan adalah secara dalam talian. Justeru itu, proses penubuhan KRT ini lebih sistematik dan efisien. Impak pelaksanaan model e-RT adalah memudahkan penyimpanan dan mempercepatkan pencarian maklumat KRT disamping melaksanakan penilaian keaktifan KRT dengan lebih telus. Ia juga menyediakan platform pada KRT untuk menyedia dan menghantar laporan dengan lebih cepat dan pegawai boleh membuat pemantauan
terhadap pelaporan yang disediakan. Sehingga kini, penggunaan model e-RT menjadi satu keperluan kepada KRT atas kepentingannya sebagai satu alat untuk menilai tahap keaktifan KRT. Keaktifan dikira berdasarkan kepada kekerapan aktiviti kunci masuk dalam sistem seperti berikut :-
1. Laporan aktiviti sekurang-kurangnya 12 kali setahun. 2. Laporan kewangan setiap 12 bulan. 3. Laporan mesyuarat sekurang-kurangnya enam (6) kali setahun.
Sistem maklumat perpaduan juga boleh mengkelaskan KRT berdasarkan peratusan rujukan pelaporan yang dikemaskini oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. KRT yang paling aktif adalah antara 90% dan 100%. KRT aktif adalah 60% hingga 89.99%. KRT sederhana aktif 30% hingga 59.99% dan KRT tidak aktif adalah 0% hingga 29%. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Pekan Nenas.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Pekan Nanas nombor 14.
Apakah impak sebenar Program Johor Future Agropreneur (JFA) terhadap belia 18 hingga 40 tahun secara keseluruhan dan di DUN Pekan Nanas khususnya? Adakah ia berjaya tingkatkan penyertaan dalam pertanian moden, dan apakah langkah perluasan akses serta sokongan kepada belia luar bandar?
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Pekan Nanas.
Kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan rakyat terutama golongan belia untuk menjadi sebagai pemain utama dalam sektor industri pertanian berteknologi tinggi. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan perkasa peralihan industri kepada teknologi pertanian pintar dalam mewujudkan ekosistem pertanian yang menggalakkan pembinaan kapasiti penyelidikan dan pembangunan atau R&D. Penggunaan internet of things atau IOT dan seterusnya dapat memartabatkan lagi industri ini ke arah yang lebih tinggi.
Kerajaan menerusi jabatan dan agensi berkaitan ada menyediakan pelbagai bentuk sokongan menyeluruh kepada golongan belia dalam industri pertanian termasuk mereka
yang berada di kawasan luar bandar. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan belia tani terus aktif dan berdaya saing dalam menghasilkan produk agro makanan dengan memanfaatkan sepenuhnya tanah kebun, sumber dan potensi sedia ada.
Salah satu inisiatif yang menjayakan hasrat tersebut adalah menerusi Program Johor Future Agroprenuer atau JFA di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor yang dikhususkan kepada golongan belia tani iaitu belia berumur 18 hingga 40 tahun untuk terus berdaya saing dalam sektor pertanian sama ada dalam aktiviti tanaman, industri makanan dan agro pelancongan. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti produk yang dihasilkan oleh usahawan belia tani melalui pengamalan teknologi terkini dalam sektor pertanian dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka.
Pada tahun 2024, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta khusus bagi melaksanakan program ini yang mana telah dimanfaatkan oleh seramai 152 orang belia tani di Johor. Pada tahun 2025 pula, kerajaan sekali lagi telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan program ini dengan sasaran penerima manfaat sekurang-kurangnya 134 orang usahawan belia tani. Antara skop insentif bantuan meliputi :-
1. Sistem dan kelengkapan fertigasi. 2. Penggunaan teknologi moden dan jentera mekanisasi ladang dan industri asas tani seperti Sistem IOT, sistem pengairan pintar atau smart irrigation dan teknologi fertigasi. 3. Bina baru atau menaiktaraf pusat pengumpulan hasil ladang dan bengkel pemprosesan makanan. 4. Pembangunan teknologi pembungkusan; dan 5. Lain-lain skop bantuan berkaitan seluruh aktiviti dalam rantaian bekalan makanan yang boleh meningkatan kuantiti dan kualiti produk.
Untuk makluman Yang Berhormat, pertanian masa kini bukan lagi sebagai sekadar aktiviti tradisional, tetapi juga industri berstrategi dan untuk itu ia memerlukan ilmu pengetahuan tentang teknik pertanian, cuaca, pasaran, penggunaan seperti teknologi IOT serta automasi serta pengurusan kewangan. Kedua, ia memerlukan kemahiran iaitu dan kedua-dua ini memerlukan kemahiran untuk mengurus ladang, mengendalikan mesin, pemasaran hasil pertanian serta berinovasi untuk tambah nilai produk. Justeru, selain menyediakan bantuan berbentuk insentif, kerajaan negeri Johor menerusi Jabatan Pertanian Negeri Johor menyediakan lebih 120 kursus usahawan tani sepanjang 2025 ini, untuk dimanfaatkan oleh golongan belia bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pertanian. Untuk bulan Mei
sahaja, terdapat 29 kursus pelbagai bidang telah diaturkan. Dan sehingga hari ini, sebanyak 54 siri kursus telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor melibatkan 1,059 orang peserta.
Impak Program Johor Future Agropreneur Muda ini terhadap belia boleh dilihat apabila lahirnya usahawan belia yang memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000.00 sebulan setelah tiga (3) tahun menerima insentif dan pertambahan bilangan usahawan di kalangan belia ini yang dibangunkan. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker :-
1. Usahawan belia tani Muhammad Amir Syafiq Kamarudin dan Khairul Idaffi Masrakin daripada Million Harvest Sdn Bhd di DUN Layang-Layang, pengusaha tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan pisang ini telah berupaya menghasilkan pengeluaran dengan nilai sebanyak RM1.26 juta setahun. Usahawan ini pernah mendapat insentif Jabatan Pertanian Negeri Johor berjumlah RM229,000.00.
2. Usahawan belia tani Mohamad Adib bin Damon,daripada By Dr. Cookies Trading Sdn. Bhd. di DUN Semerah. Pengusaha yang menghasilkan produk industri asas tani ini telah berjaya menghasilkan jualan bernilai lebih kurang RM1.4 juta setahun. Usahawan ini juga pernah mendapat insentif Jabatan Pertanian Negeri Johor berjumlah RM20,000.00.
Mereka ini adalah antara contoh usahawan belia tani yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Usahawan belia tani ini adalah usahawan yang dibantu di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Johor menerusi pelbagai insentif dan khidmat nasihat serta teknikal jabatan. Rata-rata mereka bermula dengan tempoh kecil-kecilan hinggalah mencapai ke tahap kejayaan ini. Sekian, terima kasih.
Ya, sila.
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Dato’ EXCO. Soalan tambahan saya, berapakah jumlah peruntukan yang telah disalurkan untuk pelaksanaan program JFA setakat ini khususnya di Pekan Nanas? Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti jawapan asal saya tadi, pada tahun 2025 ini sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Pertanian Negeri Johor dan seramai 134 usahawan belia tani telah terlibat dan daripada jumlah itu, bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025 daripada 79 penerima manfaat di DUN
Pekan Nanas seramai 24 orang daripadanya adalah usahawan belia tani yang mana telah mendapat manfaat daripada Projek Pembangunan Jabatan Pertanian dengan nilai RM263,918.00. Pecahan seperti di paparan, Yang Berhormat Datuk Speaker. Semoga inisiatif ini akan menjadi usahawan industri agro makanan sebagai bidang kerjaya dan perniagaan pilihan pada masa hadapan. Insya-Allah, terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini ditangguhkan selama 20 minit.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11:00 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11:20 pagi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan terhadap Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan dijalankan selama empat (4) hari mulai hari ini, 19 Mei hingga 22 Mei 2025. Pihak kerajaan akan menggulung perbahasan pada 23 Mei 2025 dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membuat penggulungan pada 26 Mei 2025.
Suka saya mengingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menjaga adab dan tertib ketika berada dan berbahas di Dewan ini selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Bilangan 45. Boleh hiruk tetapi jangan pikuk.
Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya akan menyeru nama kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat berdasarkan senarai giliran yang saya perolehi. Untuk pencadang rundingan, masa yang diberikan ialah selama 45 minit. Penyokong diberi masa 30 minit. Pengimbang kerajaan akan diberi masa 30 minit manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain akan diberi masa selama 20 minit.
Bagi membolehkan lebih ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berucap, saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang diberikan.Sebelum saya menjemput untuk memulakan perbahasan, saya ingin memaklumkan bahawa kita mengalu-alukan kehadiran
pemerhati daripada DUN Kukup seramai 26 orang yang terdiri daripada Persatuan Guru-Guru Besar Malaysia, Zon KUKUP. Ya, selamat datang. Dan juga, pemerhati seramai 26 orang daripada DUN Kawasan Pemanis iaitu daripada Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) dan juga daripada Kawasan DUN Pemanis. Dijemput Yang Berhormat Kukup.
Bismillahirrahmaanirrahim. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memohon membawa rundingan bahawa satu ucapan menjunjung kasih dipersembahkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor seperti berikut:
Ampun Tuanku, adalah patik Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan merafak Sembah Menjunjung Setinggi-Tinggi Kasih di atas Perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan Yang Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada saya selaku pencadang bagi menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Selaku rakyat Johor, saya berbangga dengan keprihatinan dan kepekaan Tunku dalam segenap perkara yang melibatkan pembangunan dan kebajikan rakyat serta pentadbiran negeri Johor. Belum terlambat untuk saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas kejayaan cemerlang pasukan JDT menjuarai Piala Malaysia bagi tiga (3) tahun berturut-turut. Lebih membanggakan dalam tempoh hanya 12 tahun JDT telah meraih 30 kejuaraan. Satu pencapaian yang sangat luar biasa dan membanggakan kita semua, khususnya Bangsa Johor. Kejayaan ini bukan sahaja lambang kehebatan sukan, tetapi juga mencerminkan kepimpinan, visi dan kesungguhan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam mengangkat martabat bola sepak negara ke tahap yang lebih tinggi. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga JDT teruskan kecemerlangan demi mengharumkan nama Johor dan Malaysia di persada bola sepak antarabangsa. Ianya perlulah diikuti oleh semua lapangan sukan di dalam negeri Johor ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya untuk dibahaskan dalam ucapan saya hari ini, yang merujuk kepada titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengenai isu semasa dan juga
perancangan Baginda bagi memastikan negeri Johor dan rakyatnya hidup dalam keadaan aman, sentosa dan bahagia dari segenap sudut kehidupan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya mengambil sedikit ruang dalam Dewan yang mulia ini untuk menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-5 yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 April 2025 bersamaan 15 Syawal 1446 Hijrah. Seluruh negara berdukacita atas kehilangan seorang tokoh negarawan yang amat kita hormati dan sanjungi bukan sahaja sebagai pemimpin negara, tetapi juga sebagai tokoh berwibawa yang berjiwa rakyat, sederhana dalam pendekatan dan luhur dalam nilai kepimpinan. Tun Abdullah yang mesra dikenali sebagai Pak Lah, adalah pemimpin yang menekankan nilai-nilai keislaman melalui gagasan Islam Hadhari yang mengangkat keseimbangan pembangunan jasmani dan rohani, akhlak dan ekonomi serta prinsip tatakelola yang telus dan adil.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi di Dewan yang mulia ini serta seluruh rakyat Johor tentang sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi khususnya dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-9 yang dilaksanakan dari tahun 2006 hingga 2010. Di bawah pentadbiran beliau, pendekatan pembangunan negara diberi nafas baru melalui prinsip pertumbuhan dengan pengagihan. Menekankan pembangunan menyeluruh dan seimbang antara aspek ekonomi dan sosial, bandar dan luar bandar serta antara wilayah dan kaum. Bagi negeri Johor, pentadbiran Allahyarham telah meninggalkan kesan yang amat besar dan berpanjangan. Antara sumbangan langsung dan signifikan Allahyarham Tun Abdullah kepada Johor ialah pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar pada tahun 2006 yang dilancarkan di Nusajaya kini Iskandar Puteri. Projek mega ini menjadikan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi paling pesat di Asia Tenggara. Dengan pelaburan besar dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, perkhidmatan, logistik dan pendidikan. Kawasan seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Tanjung Pelepas dan tidak ketinggalan Pontian, mengalami transformasi luar biasa hasil projek ini. Penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, ECER pada tahun 2007. Tun Abdullah melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang merangkumi beberapa daerah di Johor seperti Mersing dan Segamat. Inisiatif ini bertujuan untuk merangsang pembangunan ekonomi di kawasan yang kurang membangun melalui pelaburan dan infrastruktur pendidikan industri.
Pembangunan Educity di Iskandar Puteri yang kini menempatkan beberapa universiti dan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa. Ini menjadikan Johor destinasi pendidikan global yang menawarkan peluang kepada anak tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai
bidang profesional. Pemerkasaan sektor pertanian dan agro industri melalui dasar pertanian baru yang memberi manfaat kepada para petani dan juga pekebun kecil di kawasan seperti Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat. Fokus ini diberikan kepada pertanian moden, keselamatan makanan dan peningkatan pendapatan luar bandar. Penekanan terhadap modal insan, Tun Abdullah meletakkan penekanan yang tinggi kepada pembangunan modal insan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang dilancarkan pada tahun 2006. Antara fokus utama ialah melatih guru, peguasaan ict dalam pendidikan dan peningkatan pencapai akademik kepada seluruh pelajar di negara ini. Syabas dan tahniah kepada kerajaan Johor kerana terus memantapkan lagi agenda pembangunan modal insan dengan terbentuknya Johor Talent Development Council atau Majlis Pembangunan Bakat Johor dengan peruntukan bajet yang juga besar RM29.2 juta yang memanfaatkan lebih 10,000 pelatih. Ini adalah inisiatif strategik yang bertujuan untuk membangunkan tenaga kerja tempatan di negeri Johor. Ini adalah bertujuan untuk menyelaraskan tenaga kerja bagi keperluan industri, memastikan kumpulan tenaga kerja tempatan adalah berkemahiran, berdaya saing dan responsif terhadap permintaan pasaran pekerjaan di Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh isu banjir, bencana banjir Monsun Timur Laut gelombang yang kelima. Pertama kali saya ingin menzahirkan rasa sedih, simpati dan berdukacita kepada mangsa-mangsa yang terkesan disebabkan bencana banjir yang sehingga kini masih terdapat tempat yang belum pulih sepenuhnya dan masih digenangi air terutamanya impak air termenung yang sukar untuk surut terutamanya di kawasan pertanian dan juga kebun. Pada tahun 2006, negeri Johor pernah dilanda banjir besar yang menjejaskan hampir 100,000 penduduk. Ketika itu, kejadian banjir tersebut dianggap sebagai antara yang paling buruk dalam sejarah negeri ini. Namun, bencana banjir yang melanda Johor pada Januari dan Mac 2025 baru-baru ini telah mencatat rekodnya yang tersendiri. Bukan sahaja dari segi jumlah kawasan terjejas jumlah rakyat yang terlibat dan terkesan tetapi juga impaknya terhadap kehidupan rakyat.
Banjir kali ini berlaku secara tidak dijangka dan luar jangka. Dengan lebih 15,000 penduduk terkesan daripada 3,800 keluarga dan sebanyak 100 pusat pemulihan sementara, pemindahan sementara terpaksa diaktifkan di enam (6) daerah, Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat bagi menampung mangsa banjir ini. Bencana ini telah menguji ketahanan fizikal dan emosi rakyat Johor. Namun, semangat kebersamaan, bantuan daripada agensi kerajaan, sukarelawan, NGO dan rakyat jelata telah menjadi kekuatan utama rakyat dalam menghadapi detik sukar ini. Tidak dapat dinafikan ramai petugas-petugas hadapan dan sukarelawan yang turun padang membantu mangsa banjir amat kita hargai. Mereka telah memberi komitmen yang tinggi dalam menghulurkan bantuan dan menguruskan pusat pemindahan sementara itu. Namun begitu hakikatnya, Yang
Berhormat Datuk Speaker, masih lagi tidak mencukupi ada juga pusat-pusat yang telah di buka tidak ada pegawai yang mengurusnya sehinggalah sebelah malam baru ada yang hadir. Inilah walaupun kita dah beberapa kali mengalami pemindahan tetapi masih tidak lagi menepati seperti yang kita hendak. Bukan sahaja tidak ada pegawai, malah khemah-khemah juga ada kalanya tidak mencukupi di dalam pusat pemindahan sementara itu.
Saya juga mengharapkan Kerajaan Persekutuan menerusi kementerian dan agensi yang mengurus masalah banjir terutamanya JPS ini, perlulah di tambah bajet dan juga disegerakan bajet tentang tebatan banjir ini dilaksanakan. Kerana setiap kali kita berbincang dengan pihak JPS, masalah bajet akan timbul, kekurangan dana dan sebagainya untuk membersihkan tali air, kos mengganti culvert dan sebagainya. Sedangkan kita tahu, punca utama sesuatu kawasan itu banjir ialah sistem perparitan dan saliran tidak berfungsi dengan baik. Antara tindakan yang boleh dipertimbangkan, peningkatan keupayaan sistem saliran dan perparitan, pembersihan sungai, parit dan longkang secara berkala, projek tebatan banjir perlu dipercepatkan pelaksanaannya. Penguatkuasaan terhadap pembangunan yang tidak lestari yang menjejaskan kawasan tadahan air sistem semula jadi aliran air. Pelaburan dalam teknologi, ramalan cuaca dan sistem amaran awal yang lebih tepat dan berkesan perlu kita bangunkan. Pendidikan komuniti tentang pengurusan risiko banjir dan kesiapsiagaan menghadapi banjir juga perlu kita perkasakan.
Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana tindakan pantas menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Kalau kita lihat, di dalam menghadapi gelombang kelima Monsun Timur Laut sejumlah RM11,247,000.00 telah diberikan kepada keluarga isi rumah sebanyak 3,749 ketua isi rumah yang telah menetap di PPS dan pada sebelum Aidilfitri hari itu, kita telah menyampaikan sebanyak RM3,000.00 kepada mangsa-mangsa banjir. Malah di buka lagi kepada mereka yang tidak ada mendaftar di PPS bolehlah membuat rayuan. Begitu prihatinnya Kerajaan Negeri Johor terhadap membantu mangsa banjir ini. Dengan langkah ini, bukan sahaja meringankan beban kewangan mangsa, malah mencerminkan keprihatinan, komitmen semua pihak dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang terkesan oleh bencana ini sentiasa diutamakan. Saya juga di dalam Dewan yang mulia ini Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin merayu kepada pihak Kementerian Dalam Negeri melalui agensi-agensi yang menguruskan dokumen-dokumen mangsa banjir yang telah hilang yang tidak dapat dikesan agar disegerakan, diberi secara percuma supaya mangsa-mangsa banjir ini boleh mengurus keadaan mereka untuk urusan-urusan yang rasmi. Kalau kita lihat tragedi kebocoran gas di Putra Heights yang lepas adanya van-van bergerak untuk menyelesaikan isu ini. Ini juga harus berlaku di kawasan negeri Johor apabila musim-musim bencana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh sekolah dan Hari Guru. Hendak berburu keluar kota, seluas alam bumi terentang; tanpa guru siapalah kita, ibarat malam tanpa bintang. Pohon kelapa tegak berdiri, kelapa di tanam tepi bangunan; ilmu di dunia terus dicari, jasa guru dilupa jangan.
Yang Berhormat, anak raja duduk merayu, duduk merayu suaranya keras; bukan namanya orang Melayu, bila berpantun tengok kertas. Sebab saya tengok Yang Berhormat berpantun tengok kertas. (Dewan ketawa).
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Nanti kita hafallah, banyak lagi yang perlu saya belajar dari Datuk Speaker, terima kasih atas petua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum terlambat lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negeri Johor yang telah memberikan sumbangan yang sangat besar. (Dewan bertepuk). Dalam mencorak masa depan anak bangsa kita. Tanpa jasa dan pengorbanan guru kita tidak dapat menikmati kecemerlangan yang dikecapi pada hari ini.
Di dalam Dewan yang mulia ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Guru Besar Malaysia Zon Kukup yang sudi hadir sebagai pemerhati pada hari ini. Kehadiran mereka merupakan simbolik sokongan terhadap usaha kita dalam semua usaha untuk memajukan sistem pendidikan di Johor. Semoga hubungan kerjasama yang erat ini dapat terus diperkukuhkan demi kepentingan pendidikan anak-anak Johor. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor atas kepimpinan dan keprihatinan yang tinggi terhadap pembangunan pendidikan negeri ini. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Tak mengampu pun.(Dewan ketawa).
Inisiatif demi inisiatif yang telah digariskan menerusi Belanjawan Johor 2025 membuktikan betapa pendidikan terus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negeri. Antaranya Pelaksanaan Program Bantuan Kasih Murid Johor yang memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta telah memberi manfaat langsung lebih 10,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan. Bantuan berbentuk beg sekolah, baucar pembelian dan wang tunai ini jelas membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka. Kerajaan negeri juga telah menunjukkan iltizam tinggi dalam mengukuhkan aspek infrastruktur dengan menyalurkan bantuan khas sebanyak RM5,000.00 kepada setiap
sekolah bagi menaik taraf bilik guru yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.9 juta. Walaupun kita tahu guru-guru tidak diberi duit raya baru-baru ini, tetapi mesti tahu bahawa peruntukan setiap tahun kita khaskan untuk bilik guru sebanyak RM5,000.00. Selain itu, insentif RM200.00 kepada mahasiswa anak Johor melalui Program Insentif Mahasiswa Anak Johor ini yang telah, bantuan pendaftaran mereka sebanyak RM500.00 bagi pelajar tahun pertama daripada keluarga B40. Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri turut cakna terhadap pendidikan tinggi dan kesinambungan pembelajaran anak-anak Johor. Pemberian Kad Siswa Johor yang menyelaras bantuan serta memberi diskaun tambahan juga merupakan langkah inovatif yang patut kita puji.
Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas cetusan idea dan sokongan Baginda terhadap inisiatif penubuhan Sekolah Rintis Bangsa Johor. Ini adalah satu lambang keprihatinan Institusi DiRaja terhadap masa depan generasi muda Johor. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27 juta untuk menjayakan Sekolah Rintis Bangsa Johor yang berfokus kepada pengkhususan STEM berkualiti dan penguasaan Bahasa Inggeris di empat (4) buah sekolah Rintis Bangsa Johor iaitu di SK Tasek Utara, SMK Tasek Utara, SK Kota Puteri 4 dan SMK Kota Puteri 2 yang bakal menjadi model kepada transformasi sistem pendidikan negeri. Saya menyokong penuh usaha ini untuk memperluaskan Sekolah Rintis Bangsa Johor lebih kepada sekolah yang lain di seluruh negeri Johor. Sekiranya projek rintis ini mencapai kejayaan yang kita harapkan, semoga langkah ini menjadi pemangkin satu anjakan paradigma dalam sistem pendidikan negeri Johor. Kesemua usaha ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan tiada anak Johor yang tercicir daripada peluang pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun tinggi.
Saya ingin merakamkan penghargaaan dan ucapan tahniah kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2024 di negeri Johor atas pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan keputusannya yang diperolehi pada tahun ini mencatatkan prestasi yang sangat membanggakan. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada 81 buah sekolah di Johor mencatatkan keputusan 100% kelulusan SPM pada tahun 2024. Ini menunjukkan kesungguhan yang tidak pernah mengenal jemu pihak sekolah, pendidik dalam memastikan kejayaan anak-anak pelajar kita. Terima kasih cikgu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh isu kos sara hidup miskin tegar di negeri Johor. Kos sara hidup bukanlah satu isu baru, ia adalah realiti saban tahun membelenggu kehidupan rakyat terutamanya golongan B40 dan miskin tegar. Walaupun pelbagai kajian dan dasar telah dirangka, persoalannya, sejauh manakah usaha ini berjaya menyentuh masalah sebenar di akar umbi. Pada masa ini, rakyat bukan sahaja berdepan
dengan ketidaktentuan ekonomi global, malah turut dibebani oleh kos sara hidup yang semakin meningkat. Inflasi yang menekan dan pertumbuhan pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barang. Berdasarkan data terkini daripada ICU sehingga 31 Disember 2024, negeri Johor masih mencatatkan 298 ketua isi rumah miskin tegar dan 12,974 ketua isi rumah dalam kategori miskin menjadikan jumlah keseluruhan 13,272 keluarga yang memerlukan perhatian dan intervensi berterusan. Usaha pembasmi kemiskinan yang dilaksanakan telah menunjukkan perkembangan positif. Sebagai contoh, pada fasa pertama jumlah keluarga isi rumah, ketua isi rumah miskin tegar Johor berjaya dikurangkan daripada 4,378 pada Mac 2023 dan hanya 359 pada Jun 2024. Ini menunjukkan satu penurunan yang drastik kepada 92%.
Terbaharu menerusi titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor menerusi pelaksanaan fasa kedua, sejumlah 234 ketua isi rumah miskin tegar telah berjaya disifarkan sepenuhnya pada 29 April 2025. Syabas dan tahniah kepada kerajaan. Pencapaian ini membuktikan dengan dasar yang tepat, pelaksanaan menyeluruh, semangat gotong-royong serta penyampaian bantuan secara bersasar matlamat untuk menoktahkan kemiskinan tegar bukan lagi satu angan-angan tetapi realiti yang boleh dicapai bersama. Kemiskinan dan kos sara hidup saling berkait rapat. Seseorang yang berada dalam kelompok miskin bukan sahaja menghadapi kesusahan membeli makanan, tetapi juga tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Keperluan asas ini menjadi semakin sukar dicapai apabila harga barangan terus melonjak. Ambil sahaja contoh barangan asas minyak masak 5 kilogram yang kini mencecah lebih RM30.00 sebotol. Walaupun ada minyak masak subsidi sebanyak RM2.50 sekilogram kekurangan stok dan juga had pembelian menafikan keberkesanan ini. Begitu juga dengan ayam segar yang dijual RM10.00 per kilogram dan dalam beberapa kes, cas ditambah seperti memotong dan membersih ayam. Inilah merupakan satu beban tambahan yang terpaksa diterima oleh rakyat biasa. Situasi mencetuskan kesan domino, bila satu rantaian naik harga, rantaian lain turut terkesan. Antaranya kos logistik, pengangkutan, makanan, perkhidmatan dan akhirnya rakyat yang menanggung semuanya.
Kerajaan Negeri Johor telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu kos sara hidup dan kemiskinan tegar antaranya yang sangat popular Program Dapur Kasih Johor, peruntukan ditingkatkan daripada RM3.2 juta kepada RM3.9 juta yang memberi manfaat 3,261 ketua isi rumah. Sumbangan zakat dan bantuan JKM juga membantu di dalam mengatasi masalah kemiskinan ini. Program Jualan Rahmah Madani menawarkan penjimatan harga barang keperluan antara 10% hingga 30% lebih murah daripada harga pasaran yang dilaksanakan di seluruh negeri. Saya juga ingin menyarankan pada kerajaan supaya memanfaatkan data eKasih dan MyKasih yang lebih strategik untuk menyasarkan
bantuan secara terus dan efisien. Mewujudkan indeks kos sara hidup per daerah untuk membantu perancangan ekonomi lebih tepat berpaksikan realiti setempat. Meneruskan Program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Kasih Johor secara bulanan dengan pemantauan harga, logistik yang lebih efisien.
Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat tidak meminta banyak. Mereka hanya inginkan kehidupan yang stabil, sihat dan selesa. Tugas kita sebagai pemimpin adalah memastikan tiada rakyat Johor yang terus ketinggalan atau dipinggirkan dalam arus pembangunan. Saya percaya dengan dasar yang tepat dan pelaksanaan yang telus, negeri Johor mampu mencapai matlamat sifar miskin tegar dan menjadi contoh kepada negeri berkebajikan di Malaysia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu isu yang ingin saya sentuh ialah mengenai data centre. Saya ingin menyentuh tentang yang semakin mendapat perhatian di peringkat negeri dan nasional iaitu pembangunan pusat data secara pesat di negeri Johor. Setakat ini, Johor telah menjadi lokasi tumpuan pelabur pusat data global antaranya Sedenak Tech Park di Kulai, Nusajaya Tech Park di Iskandar Puteri dan Johor Bahru. Pelabur utama termasuk syarikat-syarikat mega seperti YTL, Microsoft, GDS, Reach Data Centre, ByteDance dan TM One. Malah menurut maklumat pelaburan semasa, Johor mencatat antara jumlah pelaburan pusat data tertinggi di Malaysia. Namun, dalam keghairahan kita menarik pelabur bernilai berbilion ringgit ini, saya ingin membangkitkan beberapa kebimbangan khususnya berkaitan kesan terhadap alam sekitar dan kemampanan sumber. Antara isu utama ialah keperluan tenaga dan air yang sangat tinggi untuk menyokong operasi pusat data yang boleh menekan sistem utiliti sedia ada. Sebagai contoh, kapasiti tenaga elektrik yang dimohon untuk pusat data di Malaysia telah mencecah hampir 11,000 Mega watt iaitu hampir 40% keseluruhan kapasiti penjanaan negara. Tambahan pula, kesan kepada alam sekitar semakin jelas apabila berlakunya penebangan hutan untuk memberi laluan kepada pembangunan pusat data ini. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan kawasan tadahan air dan habitat biodiversiti, malah meningkatkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada perubahan iklim. Saya khuatir jika pembangunan ini tidak dikawal secara lestari, ia boleh meninggalkan kesan jangka panjang kepada ekosistem negeri ini termasuklah keseimbangan guna tanah dan kesejahteraan komuniti setempat.
Saya juga ingin menekankan bahawa syarikat pemilikan, pemilik pusat data seharusnya diwajibkan melabur semula dalam menaik taraf kemudahan tenaga dan air di kawasan pembangunan mereka. Pelaburan ini mestilah bersifat kekal dan bukan sementara. Kita tidak mahu situasi di mana setelah insentif kerajaan tamat mereka meninggalkan negeri ini dengan infrastruktur usang dan kesan alam sekitar yang parah. Justeru, saya menyeru
kepada kerajaan dan juga agensi berkaitan meneliti semula garis panduan pembangunan pusat data, memastikan penilaian impak alam sekitar dilakukan secara telus dan meletakkan syarat ketat agar pelabur ini benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor dan alam sekitar. Saya juga ingin mohon penjelasan daripada pihak kerajaan :
1. Apakah dasar negeri Johor dalam memastikan pembangunan pusat data ini mampan dari sudut alam sekitar dan bekalan sumber?
2. Apakah terdapat syarat mandatori yang mewajibkan pelabur pusat data melabur semula ke dalam sistem sokongan setempat seperti naik taraf loji rawatan air atau sistem gred tenaga.
3. Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan pelaburan ini benar-benar memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Johor khususnya dalam bentuk pekerjaan bernilai tinggi dan bukan sekadar menggunakan tanah dan sumber negeri secara besar-besaran tanpa pulangan yang setimpal.
Kita tidak boleh membiarkan ekonomi digital berkembang dengan mengorbankan sumber asli dan kesejahteraan rakyat. Saya yakin jika dibangunkan dengan perancangan yang bijaksana dan beretika, Johor boleh menjadi model pembangunan pusat data yang mampan di rantau ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya juga membahaskan isu-isu yang berada di kawasan KUKUP yang mana saya mewakilinya. Iaitu isu pertama, pada tahun yang lalu sewaktu pembukaan Persidangan Dewan 2024, saya telah menyentuh satu isu besar yang menyentuh aspek pembangunan di DUN Kukup. Iaitu mengenai projek terbengkalai yang semakin memburuk dari segi fizikal dan kesannya kepada rakyat. Hari ini dengan rasa penuh tanggungjawab dan keprihatinan, sekali lagi saya ingin membangkitkan supaya saya ingin tahu tentang penyelesaian yang tuntas dan menyeluruh iaitu pertama bangunan milik Yayasan Pelajaran Johor yang terletak bersebelahan dengan SMK Sri Kukup. Bangunan ini telah terbengkalai hampir 15 tahun tanpa sebarang penggunaan untuk tujuan pendidikan, kebajikan mahupun kemasyarakatan. Keadaan ini bukan sahaja merugikan dari segi ekonomi dan sosial, tetapi turut memberi gambaran bahawa perancangan pembangunan di kawasan ini seolah-olah diabaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita tahu YPJ yang ditubuhkan pada tahun 1970 sudah tentu ada peranan dan juga membantu para pelajar yang berada di negeri ini termasuklah
menyediakan infrastruktur, program latihan dan juga pendidikan secara latihan vokasional ataupun TVET. Selain itu, YPJ diamanahkan untuk mengurus aset dan tanah yang sepatutnya menyokong aktiviti pendidikan serta menjana hasil yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. Saya ingin menimbulkan beberapa persoalan kepada pihak YPJ:
1. Apakah peracangan semasa dan jangka panjang terhadap tanah serta bangunan milik YPJ yang terbengkalai khususnya di kawasan Kukup?
2. Adakah terdapat sebarang cadangan proses menukar status tanah tersebut daripada pembangunan pendidikan kepada pembangunan komersial?
3. Berapakah jumlah keseluruhan tanah dan aset milik YPJ di negeri Johor yang telah mengalami pertukaran status ataupun yang telah dijual kepada pihak ketiga?
Tidakkah tindakan-tindakan seperti ini bercanggah dengan objektif asal penubuhan YPJ yang mana untuk memperkasakan pendidikan anak-anak Johor khususnya melalui TVET dan pendidikan tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mencadangkan agar YPJ dan Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan penubuhan Universiti Johor, sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh negeri yang mampu menawarkan pengajian di peringkat ijazah, sarjana dan juga PhD.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga senada dengan titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang begitu kesal dan kecewa mengenai pembuangan sampah haram yang boleh mencemarkan alam sekitar. Masalah ini berlaku bukan sahaja di kawasan PBT, tetapi ianya telah menjangkit di kawasan-kawasan kampung dan juga pinggir bandar. Dulu kita duduk di kampung boleh membakar sampah-sampah sesuka hati. Sekarang ini sudah ada larangan, bagaimanakah sampah-sampah ini perlu dilupuskan oleh masyarakat yang berada di luar bandar. Fenomena ini semakin membimbangkan dan menuntut perhatian yang serius kerana ianya bukan sahaja melibatkan isu kebersihan tetapi ianya memberi imej buruk kepada negeri Johor. Saya ingin mengajukan beberapa persoalan kepada pihak PBT:
1. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu pembuangan sisa pepejal secara haram terutamanya di kawasan luar PBT yang tidak mempunyai sistem kutipan sampah yang sistematik?
2. Berapakah jumlah tangkapan dan pendakwaan yang telah dibuat terhadap individu yang terlibat dalam pembuangan sampah haram ini?
3. Apakah jalan penyelesaian berkesan yang dirangka bagi memastikan perbuatan ini tidak berulang?
Saya melihat punca-punca yang berlakunya ialah kerana ketiadaan kemudahan pelupusan sampah di kawasan luar PBT menyebabkan penduduk kampung menumpang tong sampah perumahan atau membuang sisa di kawasan sunyi seperti jalan, kebun terbiar dan belukar. Ini berleluasa. Kekangan kewangan di kalangan penduduk kampung tidak mampu untuk membayar caj pengurusan sisa pepejal dan juga yuran kutipan yang berjadual oleh pihak PBT. Kurangnya penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap pesalah pembuangan sampah secara haram. Yang menjadi perbuatan ini seolah-olah tidak membawa sebarang akibat undang-undang. Justeru itu, saya ingin mencadangkan agar Program Johor Bersih yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada awal pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar terus diperkasakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang seterusnya yang ingin saya bangkitkan ialah berkaitan dengan hakisan pantai di Pantai Rimba Terjun. Isu ini bukanlah merupakan isu yang baru, ia adalah merupakan isu yang lama. Dan keadaan ini menjadi parah khususnya di kawasan Taman Sri Pantai di Mukim Rimba Terjun. Hakisan ini telah berlarutan dan ada di antara tanah yang telah hilang dan kini jarak antara hakisan dan rumah penduduk hanya tinggal 5 meter sahaja. Ini amat membimbangkan dan membahayakan keselamatan penduduk.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin memohon penjelasan, berapakah jumlah peruntukan yang telah disalurkan bagi mengatasi masalah hakisan terutamanya di daerah Pontian? Apakah tindakan segera yang diambil oleh pihak JPS dalam usaha mengatasi masalah ini? Saya mohon kerajaan negeri supaya isu hakisan yang serius ini diangkat di peringkat pusat dan juga mendapatkan bajet tambahan sebelum berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini oleh masyarakat dan harus menjalankan kajian teknikal segera di kawasan yang kritikal bagi mengatasi bentuk intervensi yang paling berkesan sama ada pembinaan benteng, tambakan atau tanam semula hutan bakau sebagai benteng semula jadi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya ingin membawa perhatian tentang pembangunan di Taman Negara, Tanjung Piai dan Pulau Kukup. Saya juga ingin menyokong penuh titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor mengenai
kepentingan pemeliharaan dan pembangunan sektor pelancongan di negeri Johor. Oleh itu, kerajaan negeri perlu memperhebatkan usaha menaik taraf infrastruktur pelancongan yang sedia ada serta mempergiatkan promosi produk pelancongan Johor secara lebih agresif dan bersepadu. Tanggungjawab ini harus diberi keutamaan agar Johor terus kekal sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia. Isunya ialah berkaitan dengan Pulau Kukup. Pembangunan yang terdapat di Pulau Kukup dan Taman Negara masih perlahan kerana tidak tahu bilakah tarikh sebenarnya kedua-dua projek ini diselesaikan. Kerana hanya beberapa bulan sahaja lagi kita akan mengadakan Tahun Melawat Johor 2026. Kalau sekiranya projek ini tidak dapat disiapkan segera, maka pincanglah usaha kita untuk menaik taraf dan memajukan kedua-dua pusat eko pelancongan ini.
Saya juga mengharapkan kerajaan negeri supaya dapat membina satu (1) jambatan khas untuk para pengunjung ke Pulau Kukup kerana selama ini pengunjung yang akan pergi ke Pulau Kukup hanya menumpang di Jeti Terminal Feri di Kukup dengan keadaan yang sungguh usang, tidak selamat dan tidak melambangkan untuk pelancongan. Jadi, saya menyeru supaya satu (1) bajet khas dikeluarkan untuk pembinaan jeti bagi pelancong-pelancong melawat ke Pulau Kukup.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membawa isu jalan di jambatan Sungai Pulai. Isu ini telah berlarutan dan tidak nampak satu penyelesaian yang tuntas dan kita amat menghargai bahawa jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah dan Kukup ini adalah satu usaha yang murni dan baik kerana kita dapat memendekkan perjalanan dan juga merancakkan lagi pembangunan industrial di kawasan Tanjung Bin. Sebab itulah rakyat di kawasan Kukup amat memerlukan satu (1) sistem jalan yang baik dan sempurna. Kita tidak mahu sehingga berlakunya kematian ataupun accident yang besar-besar barulah kita ingin membuat tindakan dan sebagainya. Saya mengharap satu tindakan yang tuntas perlu disegerakan oleh pihak kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam masa yang berbaki ini saya juga ingin menyentuh mengenai belenggu komuniti nelayan di kawasan Kukup khususnya di kawasan saya sendiri berdasarkan maklumat balas daripada persatuan-persatuan. Keluhan yang kerap diterima ialah mengenai kenaikan harga barang yang melibatkan barang keperluan penting seperti jaring, enjin, bot, tali, pelampung dan kotak simpanan ikan. Di mana harganya amat tinggi. Jika jaring dan pukat yang dahulunya sekitar RM300.00 hingga RM400.00 seunit, kini telah mencecah RM700.00. Enjin sangkut yang bersaiz kecil berharga RM5,000.00, kini sudah RM8,000.00 seunit. Sedangkan hasil tangkapan ikan tidak meningkat selari dengan kos operasi. Justeru itu, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri bersama dengan agensi persekutuan, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mempertimbangkan pelaksanaan
satu mekanisme kawalan harga ke atas peralatan nelayan utama sama ada melalui subsidi bersasar atau harga siling yang munasabah. Di samping itu juga, saya menggesa agar kerajaan melalui pembiayaan seperti Tekun Nasional, Agro Bank memperkenalkan Skim Pinjaman Mikro Khas untuk nelayan. Ini..
Yang Berhormat, tinggal 1 minit lagi Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Dengan mempunyai kadar faedah minimum serendah 1% hingga 2% setahun. Tidak memerlukan cagaran, mempunyai tempoh pembayaran yang fleksibel dan selaras dengan musim tangkapan mereka. Nelayan kita bukan sahaja menjadi tulang belakang sektor perikanan, tetapi juga merupakan barisan hadapan dalam menjamin sekuriti makanan negara khususnya dalam bekalan ikan segar kepada rakyat Johor perlu diberi perhatian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan itu saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas ruang dan peluang yang telah diberikan kepada saya. Yang Berhormat Datuk Speaker, Kukup mohon mencadang. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Yang Berhormat Kukup. Tahniah. Saya jemput, Yang Berhormat Pemanis.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.Saya menyokong rundingan daripada Kukup tadi termasuk yang baca pantun menggunakan kertas.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahamatullahi taala wabarakatuh. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam, selawat dan sejahtera kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW semulia-mulia Rasul serta keluarga dan sahabat-sahabat sekalian. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk menyokong perbahasan bagi menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Patik juga merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Mesyuarat
Pertama Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei 2025. Minta izin baca pantun guna kertas, Datuk Speaker.
Itu namanya bukan Melayu sejati. (Dewan ketawa).
Sirih berlipat, sirih pinang, Sirih dari Pulau Mutiara, Pemanis kata selamat datang, awal Bismillah pembuka bicara. (Dewan bertepuk). Melati kuntum tumbuh melata, sayang merbah di pohon cemara; Assalamualaikum mulanya kata, saya sembah pembuka bicara. Ini baca pasal banyak minum air semut, Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila Yang Berhormat Kukup menyentuh hal berkaitan dengan banjir dan saya percaya selepas ini pun nanti ada di kalangan Ahli-Ahli Dewan akan merungkaikan perkara yang sama.
Izinkan Pemanis yang juga pernah membawa sebuah penyata di bawah Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Banjir mencadangkan agar kerajaan kembali memperhalusi dapatan hasil rundingan semasa sidang Dewan tahun yang lepas. Penyata ini ada menyatakan banyak perkara dan tindakan yang masih belum dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. Antaranya cadangan pelaksanaan Pelan Tindakan Iklim Negeri Johor 2050. Ia dilihat sangat signifikan dan perlu disegerakan supaya negeri Johor ini tidak ketinggalan dalam usaha menangani dan beradaptasi dengan kesan perubahan iklim.
Kita dah kena bersedia Yang Berhormat Datuk Speaker. Dengan keadaan cuaca yang sering berubah dan luar jangka. Kita sepatutnya lebih bersedia kerana baru-baru ini apabila Met Malaysia memaklumkan kejadian hujan lebat akan berlaku di beberapa kawasan dalam negeri Johor. Kebetulan Yang Amat Berhormat Menteri Besar menerusi akaun media sosial miliknya turut menyatakan agar rakyat mengambil sikap peka dan berjaga-jaga. Namun, selang sehari selepas pengumuman dibuat, banjir besar berlaku pada bulan Mac yang lepas. Dan walaupun lebih 15,000 mangsa yang terlibat, pengumuman awal tersebut sekurang-kurangnya memberikan ruang kepada barisan hadapan kita untuk bersiap sedia menggerakkan jentera mereka membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.
Saya ada bertanya dengan Met Malaysia berkaitan dengan permintaan mereka menambah Stesen Meteorologi Automatik Auksiliari. Berbelit Datuk Speaker nak sebut. Di seluruh negeri Johor. Dalam rundingan penyata tersebut, ada dinyatakan keperluan penambahannya. Ada sebut dah dalam penyata tu. Memang nak kena tambah. Tapi
sehingga sekarang, tiada sebarang peruntukan disalurkan kepada mereka. Ini penting jika penambahan stesen dapat dibuat, maka amaran lebih awal akan dapat diberikan terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi yang saban tahun mengalami bencana ini.
Pemanis juga ingin bertanya dengan pihak Pengurusan Bencana Negeri ini juga ada dinyatakan dalam rundingan penyata tahun lepas. Apakah setelah beberapa kali kita ini dilanda dugaan banjir, adakah data-data mangsa banjir telah benar-benar kita kemas kini? Jika dah di kemas kini, elok susunnya. Apakah agensi bencana seperti NADMA boleh wujudkan sebuah aplikasi baharu untuk terus kenal pasti mangsa banjir, apabila kawasan terlibat diisytiharkan sebagai kawasan bencana. Kita tak perlu dah minta mangsa banjir ini hendak isi-isi borang, kita risau takut maklumatnya kadang-kadang bertindih, sebab kita dah ada sistem yang baik dah untuk mereka gunakan. Jika berlaku bencana, petugas di PPS senang masukkan nombor kad pengenalan, gunakan telefon bimbit dan sistem ini akan terus kenal pasti mereka, sama ada pernah menjadi mangsa yang terlibat dengan banjir dan tinggal di kawasan PPS tersebut.
Dan bagi pemberian bantuan pula, dengan adanya data yang betul dan dikemas kini, kita boleh rujuk silang dengan mana-mana agensi insurans contohnya, di mana rumah terutamanya di kawasan-kawasan taman-taman yang telah mendapat premium insurans yang tinggi. Kerajaan, kita akan bantu cuma mungkin nilai bantuannya tidak lah sama dengan mereka yang rumahnya di kawasan kampung atau taman-taman yang tidak memiliki insurans bencana ini. Kita boleh ikhtiarkan mereka yang dah dapat bayaran premium insurans ini, kerajaan bantulah dengan nilai yang memadai, tetapi kena pastikan data yang ada benar-benar tepat dan tidak boleh diragui.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebentar tadi ucapan Kukup ada menyentuh perihal penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, ataupun ECER. Tahun 2007 hanya satu daerah di Johor iaitu Mersing yang dimasukkan dalam Wilayah ECER ini. Namun, pada April 2018 di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak, daerah Segamat telah diangkat untuk dimasukkan sama dalam pembangunan wilayah ini. Ia patut dilihat sebagai satu keutamaan bagi pembangunan di sebelah utara Johor ini. Inisiatif yang bertujuan untuk merangsang pembangunan ekonomi di kawasan yang kurang membangun melalui pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan dan industri. Amat menarik apabila hujung bulan lepas, apabila ECERDC berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion untuk daerah Segamat dan Mersing bagi negeri Johor, untuk suku pertama tahun 2025 ini sahaja. Antara projek utama di Segamat termasuklah pembinaan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860 megawatt di atas tanah seluas 1,700 ekar, menjadikannya salah satu projek tenaga boleh
baharu yang terbesar di rantau ini. Ini adalah selari dengan pelan hala tuju peralihan tenaga negara. Projek ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara terhadap pembangunan rendah karbon. Turut menjadi perhatian ialah usaha membangunkan kemudahan biomas yang menukar buah tandan kosong kepada pelet bahan api sawit untuk menyokong penggunaan lestari melalui sistem pertanian serta menyumbang kepada ekonomi kitaran. Yang ini kalau dapat kita laksanakan Yang Berhormat Datuk Speaker, memang amat baik untuk alam sekitar.
Sementara itu di Mersing, pembangunan lembah tenusu Jemaluang atau JDV menjadi salah satu pemangkin utama kepada agenda keterjaminan makanan negara. Sehingga Mac 2025, projek hab tenusu moden bersepadu ini telah dikatakan mencapai 93% kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun tahun ini. Setelah beroperasi JDV ini dijangka meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, baiklah, kan? Dan membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di sekitar kawasan Mersing. Ini adalah usaha yang amat baik apatah lagi Johor hari ini dilihat amat berpotensi menjadi tumpuan para pelabur dalam dan luar negara. Bagi kawasan utara dan pantai timur yang pembangunannya agak lambat dan perlahan, limpahan ekonomi seperti ini sepatutnya memberikan impak yang baik dan mampu menjana pendapatan baharu kepada kerajaan negeri. Cumalah, saya hendak minta kerajaan perhalusi semula cadangan projek lapangan solar ini. Adakah berbaloi kita mengorbankan tanah yang seluas 1,700 ekar ini untuk semata-mata hanya membina infrastruktur berkaitan dengan teknologi solar? Atau kita manfaatkan keluasan tanah yang ada tersebut untuk projek di bawah program keterjaminan makanan. Saya dimaklumkan sebahagian kawasan tanah yang hendak dilaksanakan projek ini juga terletak dalam kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian, iaitu kawasan yang agak berpaya dan dikatakan banjir. Dan, faktor ini antara sebab kenapa kawasan tersebut dipilih sebagai lokasi projek walau pun masih dalam kajian pihak ECER, namun sukalah Pemanis mencadangkan agar ia dapat diperhalusi lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyampaikan rasa terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita diatas usaha yang amat baik menubuhkan Sekretariat Muafakat FELDA hasil daripada perbincangan dan retreat yang telah dibuat oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada awal tahun ini. Acap kali apabila ada beberapa isu berkaitan dengan FELDA, terutama di dalam sidang DUN kita ini, ia tidak dapat diselesaikan dengan baik, malah ada yang gagal untuk diselesaikan bertahun lamanya. Fungsi sekretariat ini dilihat akan dapat menyelesaikan beberapa isu tertangguh yang menjadi permasalahan di antara agensi FELDA dan juga kerajaan negeri bagi membantu warganya yang seramai 180,000 orang di 73 buah tanah rancangan.
Sebagai anak peneroka FELDA usaha kerajaan negeri mendekati golongan perantauan dan berkongsi peruntukan untuk pembangunan infrastruktur kawasan tapak rumah generasi baharu memperlihatkan kerajaan negeri begitu cakna dan ikhlas mengambil berat dengan permintaan rakyat. Pemanis ingin mencadangkan agar sekretariat ini kelak dapat menyelesaikan semua isu pemilikan geran peneroka dan membantu mempermudahkan usaha permohonan tanah bagi generasi kedua FELDA. Menjadi perantara dengan FELDA dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu pencerobohan hidupan liar seperti gajah yang merosakkan kawasan tanaman kelapa sawit. Juga meneliti segala isu pembangunan di atas tanah GSA yang membelenggu pelbagai peraturan berkaitan dengan pemilikan bangunan yang dibina di atas tanahnya. Isu pengurusan ladang di mana ada aduan berkaitan pengurusannya yang amat lemah dan bermasalah termasuklah membantu juga generasi FELDA yang terbelenggu dengan isu perwarisan, perwarisan harta dengan memastikan undang-undang yang ada berkaitan dengan kerajaan negeri dan lain-lainnya yang masih membelenggu FELDA dan warganya kita cubalah selesaikan dengan sebaik mungkin melalui sekretariat ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam melewati semangat Tahun Melawat Johor 2026, kerajaan menerusi Yayasan Warisan Johor akan membuka Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar kepada orang ramai pada hujung minggu bermula tahun ini menerusi peruntukan di dalam Belanjawan Johor 2025 dengan menampilkan pengisian lebih menarik kepada para pengunjung meliputi pelbagai segmen kebudayaan nanti. Inisiatif untuk merakyatkan seni budaya Johor yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Warisan Johor ini seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkenalkan khazanah warisan dan budaya negeri ini kepada pengunjung sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancong pilihan. Dengan peningkatan jumlah pengunjung, katanya tahun lepas mencecah sehingga 100,000 orang yang dicatatkan sejak pasca COVID-19, kerajaan negeri berkeyakinan kompleks yang mempamerkan seni bina keunikan Replika Sajian Warisan Johor dan Galeri Tenun Johor itu akan menarik kira-kira 300,000 pelawat tahun ini. Dan mungkin akan bertambah menjelang tahun 2026 sempena Tahun Melawat Johor.
Dan, sebagai tambahan ini cadangan Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk merancakkan lagi usaha menyambut Tahun Melawat Johor 2026 nanti, Pemanis ingin mencadangkan agar agensi dan NGO berkaitan dengan kebudayaan bekerjasama dengan Majlis Kebudayaan Negeri Johor, mengadakan persembahan flash mob tarian Zapin Bangsa Johor dikawasan-kawasan di mana pelancong masuk terutamanya di kawasan Lapangan Terbang Senai dan kawasan-kawasan tumpuan pelancongan yang lain. Kita juga boleh mula mengarah, kalau mengarah ini macam mengarahlah kan? Kalau boleh kita wajibkan sahajalah, semua hotel-hotel, rumah penginapan yang ada dalam Negeri Johor ini kita
mainkan lagu-lagu asli Bangsa Johor di kawasan lobi dan dewan makan. Supaya ia satu usaha sama mereka untuk meraikan Tahun Melawat Johor 2026. Kita juga boleh minta kerjasama mereka mempamerkan peralatan muzik ghazal, hasil tenun Tulang Belut, koleksi Kain Benang Johor dan lain-lain lagi bagi menggambarkan inilah budaya dan kebudayaan yang masih hidup dalam Bangsa Johor kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis juga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas inisiatif mengaktifkan aktiviti kebudayaan di setiap DUN, melalui program Jelajah Orang Johor. Ia secara tidak langsung melibatkan semua badan penggiat seni dan budaya untuk sama-sama aktif dan tampil membantu menjayakan program kebudayaan pada malam tersebut. Elok juga jika dapat diselitkan sekali persembahan atau pertandingan tarian zapin sebagai untuk memastikan aktiviti berzapin ini di angkat bagi memenuhi semangat festival yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tahun lepas dalam ucapan Belanjawan Negeri. Cuma, dengan sumbangan RM5,000.00 untuk aktiviti kebudayaan ini mungkin jika ditambah sedikit lagi peruntukannya saya kira ia akan memeriahkan lagi sambutan program kebudayaan pada malam tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dah sentuh isu berkaitan kebudayaan ini, kebetulan dekat atas sana itu ramai juga rakan-rakan daripada Majlis Kebudayaan Negeri Johor, datang bukan kosong tu. Saya mohon jasa baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang juga penaung kepada Majlis Kebudayaan Negeri untuk menambah lagi peruntukan tahunan kepada badan ini supaya dapat bekerjasama dengan Yayasan Warisan Johor dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Johor untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti kecil kebudayaan dan kesenian di negeri ini terutama di setiap 10 daerah dalam negeri Johor. Kita hendak lihat sebenarnya seni dan budaya yang kian terhakis seperti Seni Jahitan Tulang Belut, Seni Kompang Irama Johor, seni permainan gasing, latihan dan pengenalan kepada peralatan Muzik Ghazal, Bengkel Tulisan Khat dan Kaligrafi serta pelbagai lagi aktiviti-aktiviti budaya lain untuk kita terus perkasa dan pertahankan warisan kesenian milik Bangsa Johor ini. Jangan potong-potong lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau boleh peruntukan mereka ini. Rajin kawan-kawan kami ini bergerak memartabatkan budaya dan seni Bangsa Johor.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga Dewan sekalian, 24 dan 25 hari bulan ini, hujung minggu ini lah pasukan Ghazal Bangsa Johor dijemput istimewa dijemput membuat persembahan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur sempena Program Panggung Seni Tradisional 2025. Kita hendak tunjuk skill, skill pula, kemahiran, minta maaf dengan izin Datuk Speaker, anak-anak muda kita bermain permainan peralatan Ghazal dan mengalunkan lagu irama Bangsa Johor di Kuala Lumpur. Kalau hendak pergi, kena bayar tiket Datuk Speaker, yang ini saya mintalah YB EXCO
Warisan dan Kebudayaan dan Kesenian bolehlah payung sikit kita kalau hendak pergi kan? Ahli-Ahli Dewan yang ada kalau berminat untuk saksikan anak-anak Johor bermain peralatan Ghazal di Dewan, di Kuala Lumpur nanti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis turut menyokong usul perbahasan YB Kukup, sebab itu awal-awal tadi disokong berkaitan dengan Zon Ekonomi Johor Singapura atau JS-SEZ. Kita semua sedia maklum bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian Johor – Singapura Zon Ekonomi Khas atau JS-SEZ pada tanggal 6 Januari lepas. Impaknya, pelaburan Johor pada suku tahun pertama ini mencecah hampir RM27.4 bilion di mana 90% daripadanya berada di Zon Ekonomi Khas ini. Ia memberikan petunjuk bahawa keputusan kerajaan untuk menjadikan zon ekonomi ini mampu menjana ekonomi sepatutnya boleh memberi manfaat besar kepada negeri dan negara kita mampu untuk dicapai. Boleh dapat peruntukan lebih nanti. Sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau pelaburan yang masuk ke negara kita, MITI seharusnya lebih peka untuk melihat apakah pelaburan-pelaburan yang diberikan pelbagai insentif ini yang memasuki JS-SEZ tidak hanya memihak kepada syarikat daripada negara jiran, secara tidak seimbang berbanding dengan negara kita. Walaupun pelaburan langsung asing atau pun FDI membawa peluang ekonomi yang baik namun, Malaysia juga mungkin menghadapi risiko seperti kemungkinan perangkap hutang, kehilangan industri bernilai tinggi dan ketidakseimbangan faedah antara kedua-dua negara. Projek infrastruktur memainkan peranan penting dalam pembangunan JS-SEZ tetapi adakah pembiayaan Malaysia bagi projek-projek ini boleh membawa kepada risiko kewangan kepada industri yang terlibat.
Yang ini kita kena fikir apa yang berlaku nanti. Risiko ini termasuklah pendedahan hutang yang ketara Yang Berhormat Datuk Speaker seperti yang ditanggung oleh beberapa negara yang merupakan sebahagian daripada inisiatif dengan izin, one belt one road dimana rancangan bercita-cita tinggi Beijing untuk menghubungkan bandar di seluruh dunia melalui darat bagi memudahkan perdagangan dengan China. Kita kena maklum yang negara jiran mungkin boleh menentukan syarat melalui pembiayaan projek-projek tertentu. Ia berkemungkinan mempunyai pengaruh yang ketara dan pernyataan yang lebih besar dalam membuat keputusan mengenai isu-isu tertentu yang boleh menjejaskan kepentingan negara. Dengan kawasan seluas 3,505 kilometer persegi di Johor dan merangkumi sembilan (9) kawasan utama seperti dalam Wilayah Pembangunan Iskandar, Zon Kewangan Khas Forest City dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang. Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan mahir dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam pembuatan logistik, industri, digital, penjagaan kesihatan dan juga pendidikan. Namun kerajaan harus memastikan warga Bangsa Johor mendapat manfaat daripada JS-SEZ ini. Kita tidak boleh berkompromi dalam memastikan hak pekerja kita terbela. Dengan
agenda nasional Membangunkan Bakat Tempatan terutamanya dalam bidang tambah nilai berkemahiran tinggi dan bidang yang dipacu inovasi. Justeru penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor ataupun JTDC adalah amat tepat dan diyakini terus menjadi pemacu utama dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang melahirkan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik serta bersedia menyambut gelombang pelaburan masa hadapan.
Namun, di sebalik harapan menggunung JS-SEZ untuk mencipta pelaburan bernilai tinggi ini, masih juga ada keraguan dan cakap-cakap belakang bahawa pelan tindakan ini dilihat seperti menguntungkan negara jiran. Mereka menulis malah menyatakan yang kebanyakan syarikat daripada negara jiran biasanya tidak akan menubuhkan ibu pejabat mereka di sini tetapi mereka hanya menubuhkan anak syarikat mereka sahaja. Ini kerana kos operasi yang agak rendah kerana kos tenaga, air dan tanah yang lebih murah berbanding di negara mereka. Tambah mereka lagi, walaupun Malaysia boleh mengutip hasil cukai daripada sektor pembuatan hasil sebenar tetap mengalir ke negara jiran. Proses bernilai tinggi seperti pembuatan bahagian hadapan akan berlaku di sana. Projek diuji di Johor, tetapi akan dieksport melalui pelabuhan negara jiran dan bukannya melalui pelabuhan kita di Johor. Bunyinya memang macam tak sedap nak didengar tetapi inilah yang mungkin boleh berlaku dan inilah sebenarnya yang perlu kerajaan menilai kembali serta memperhalusi, hati-hati dengan setiap perjanjian yang akan dibuat menerusi JS-SEZ ini. Saya berharap ia akan dirungkaikan nanti oleh Yang Berhormat EXCO Pelaburan semasa penggulungan nanti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, janganlah kita pandang sepi kritikan rakyat ini. Mereka bukanlah marah nyamuk, kelambu tu kita bakar tetapi mereka lebih kepada ingin melihat pembangunan dan kemajuan yang pesat berlaku dalam negeri Johor ini berjalan dengan baik dan juga lancar. Kerajaan patut lebih berhati-hati dengan keupayaan sumber negeri yang ada kerana ia turut melibatkan pengurusan alam sekitar. Kerisauan isu alam sekitar ini turut disentuh dalam titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor Jumaat lepas. Contohnya, tekanan kepada bekalan tenaga dan air di Johor. Apabila kita membuka pusat data di mana kemampuan mengurusnya sama seperti mengurus satu daerah bagi satu pusat data yang ada. Sudah pasti sumber yang ada seperti bekalan air akan sedikit terjejas di kawasan-kawasan yang berhampiran. Dan dalam pemindahan teknologi pula, adalah naif untuk mengharapkan syarikat daripada negara jiran berkongsi teknologi yang dipatenkan walaupun dengan rakan kongsi strategik mereka. Mereka telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang meluas, tak mungkin mereka akan berkongsi peluang mereka secara bebas. Di sinilah peranan semua agensi kerajaan termasuk GLC yang bertanggungjawab untuk pemindahan pengetahuan dan teknologi wajib terlibat rapat dalam projek-projek yang ada untuk memastikan kepentingan kita terus terpelihara dan terjaga.
Banyak sangat isu semasa saya nak kembali kepada isu tempatan Yang Berhormat Datuk Speaker. Minggu lepas negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan sembilan (9) anggota FRU di Teluk Intan, Perak. Insiden kemalangan yang boleh dikatakan setiap hari berlaku bukan sahaja melibatkan pemandu dan kenderaan tetapi isu juga berkaitan dengan keadaan dan kemudahan jalan raya. Tanggal 1 September 2023 yang lepas, enam (6) beranak meninggal di lokasi kejadian kemalangan apabila lori yang membawa muatan pasir memasuki lorong bertentangan dan melanggar kereta mangsa di Kilometer 5, Lebuhraya Segamat-Kuantan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis pernah mencadangkan agar kerajaan negeri meletakkan keutamaan bagi menaik taraf Jalan Segamat-Kuantan ini yang panjangnya hanya 19.8 kilometer sahaja yang melibatkan kerja-kerja meroboh dan membina semula tiga buah jambatan dan menaik taraf enam (6) buah persimpangan lampu isyarat. Cadangan ini juga melibatkan kerja-kerja pengalihan utiliti. Laluan ini juga merupakan laluan utama bagi kenderaan dari arah selatan utara Malaysia ke arah Pantai Timur. Laluan ini akan mengalami kesesakan luar biasa terutama pada musim perayaan dan cuti hujung minggu. Selain digunakan oleh kenderaan ringan, banyak juga kenderaan yang dikategorikan sebagai muatan besar melalui kawasan ini. Dengan kos keseluruhannya yang agak besar, ia telah dibawa dalam Rolling Plan Ke-12 yang akan berakhir tahun ini pada tahun, yang telah pun diumumkan pada tahun 2021 yang lepas. Cuma kali ini saya bawa semula permohonan ini dalam Sidang Dewan yang mulia dengan harapan agar YB EXCO Kerja Raya meletakkan keutamaan dalam Rolling Plan Ke-13 bagi mengangkat permohonan ini kepada Kerajaan Persekutuan. Bila mana Lebuhraya Utara Selatan dari Simpang Renggam menghala ke Senai dah mula nampak dilebarkan, apalah salah dan kiranya jalan yang tak sampai 20 kilometer ini, yang projek pelebarannya pernah dilaksanakan kerajaan Malaysia daripada Gambang ke Paloh Hinai, Pahang. Kali ini kita mintalah kerajaan Malaysia laksanakan daripada Segamat ke sempadan Pahang dalam negeri Johor pula. Tapi biarlah ia bermula segera agar apa yang dihasratkan oleh rakyat itu mendapat perhatian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ada Timbalan Menteri Kerja Raya daripada Johor. Kita ada YB EXCO JKR ni yang muda, rajin bermesyuarat dengan pihak kementerian, takkanlah sikit pun tak boleh nak dilebarkan jalan lebuhraya itu. Saya ingat lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, bila Yang Amat Berhormat Menteri Besar lalu dekat kawasan jalan tersebut tahun lepas apabila selepas satu program di Pekan Chini, kebetulan jalan tak ada jalan lain. Itulah jalan paling dekat kena lalu. Jadi bila lalu dia nak pergi ke Labis, bila lalu jalan tu, Yang Amat Berhormat sendiri saya ingat lagi terngiang-ngiang kat telinga ni, bila sampai saja ke Labis masa itu, dia sebut nak cepat tak bolehlah, dia kata kereta banyak, jalan sempit dan beralun-alun. Itu kereta sedap tu beralun-alun tu, merbahaya. Hal ini Yang Amat Berhormat
Menteri Besar sendiri sebut. Jadi kita tunggulah nanti maklum balas daripada YB EXCO jika ada yang menarik untuk kita dengar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pemanis juga amat tertarik dengan usaha Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) membantu golongan usahawan yang terdiri daripada asnaf dan B40 ini. Bantuan yang diberikan termasuklah peralatan dan latihan bersama dengan institusi pendidikan seperti Kolej Komuniti dilihat benar-benar membantu mereka. Cuma pandangan saya, pihak MAIJ perlu lebih banyak kolaborasi dengan institusi pendidikan kerajaan ataupun swasta bagi menggembleng usaha ke arah para usahawan asnaf ini. Elok buat semakan dan susulan selepas bantuan diberikan untuk mengetahui sejauh mana mereka mampu menggerakkan bantuan tersebut bagi menambah pendapatan mereka. Walaupun ada fitnah timbul bila mana asnaf yang menerima bantuan ini gagal berniaga dan bertindak menjual peralatan bantuan yang mereka terima. Kenapa ini boleh berlaku? Antaranya ialah mereka tidak dipantau dan diberi garis panduan berkaitan perniagaan, ada kekangan tugas mungkin daripada pihak MAIJ. Namun, perkara seperti ini perlu dianggap serius dan apa yang berlaku sepatutnya menjadi iktibar bagi kita memperbaiki cara mengendalikan pemberian bantuan di bawah MAIJ ini.
Saya nak ucap terima kasih kepada YB Semerah, EXCO Agama kerana turun hadir sama dalam perasmian masjid di kampung saya baru-baru ini. Dan ialah bila turun dapat jugalah meninjau beberapa rumah yang telah siap dibaik pulih di bawah peruntukan MAIJ. Kalau ada lagi tahun ini peruntukannya YB Semerah, saya minta tambah lagilah sikit untuk DUN Pemanis kerana kawasan saya ini kawasan luar bandar. Kita ni jarang dapat sponsor atau CSR daripada syarikat-syarikat besar. Kalau bandar ini selalu dapat, biasalah duduk dalam zon ekonomi berasaskan pertanian ini, sumber bantuan ni memang kita harap MAIJ sahaja lah untuk bantu golongan asnaf dan B40 dalam kawasan kami.
Yang Berhormat tinggal 1 minit lagi.
Ha, nak abis dah? Cepatnya. Tapi sehingga ke hari ini projek pembinaannya masih belum menampakkan yang ia akan bermula. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menarik sikitlah perhatian berkaitan dengan isu mini stadium dalam daerah Segamat. Tapak yang sepatutnya menjadi tempat untuk aktiviti sukan dan riadah tapi sekarang ni dah sepi, hanya rumput dan belukar aja yang aktif beriadah Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya bawa isu ini walaupun bukan dalam DUN Pemanis tetapi ini isu daerah Segamat. Saya mintalah perhatian YB Larkin yang mungkin boleh membantu berkaitan dengan kemudahan sukan ini sebab yang lepas dalam ucapan perbahasan saya dah minta ulasan, tetapi nampaknya tak ada dalam ulasan daripada Yang
Berhormat, jadi saya minta tolong tengokkan isu Mini Stadium Segamat ni kita bukan nak minta stadium besar, mini stadium je. Jadi mintalah kerjasama Yang Berhormat daripada Larkin untuk melihat apa cerita status mini stadium yang ada kat Segamat ni. Saya ingat itu sahajalah Yang Berhormat Datuk Speaker, sikit lagi ada pantun ni, sedap pantun ni. Banyak keluk ke penarik, keluk tumbuh pohon kuini; nan elok bawalah balik, nan tak elok kita simpan ajelah kat sini. Pohon berangan tempat bertemu, girangnya rasa si anak dara; baliklah tuan membawa ilmu, binalah bangsa bangunkan negara.
Pemanis menyokong usul titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor, semoga Allah merestui dan merahmati kita semua dalam memacu amanah menjaga rakyat kali ini. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.
Tahniah Yang Berhormat, kritikal tetapi konstruktif. Tetapi bab pantun ni, pergi belajar dululah dengan Datuk Ahmad Maslan. Saya, tuan-tuan, Ahli-Ahli Yang Berhormat ada permintaan daripada Yang Berhormat Perling oleh kerana beliau terlibat dengan Persidangan Asean selaku Timbalan Menteri, maka kita benarkan beliau bercakap dulu ya, 20 minit. Dijemput Yang Berhormat Perling.
Terima kasih kepada Yang DiPertua Datuk Speaker atas peluang diberikan kepada saya untuk berbahas usul titah, usul menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan. Patik menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas titah Tunku yang penuh dengan inspirasi. Pemangku Sultan bertitah bahawa saya ingin melihat Johor terus berkembang maju dan menjadi negeri yang harus dicontohi di Malaysia.
Datuk Speaker, keadaan perdagangan antarabangsa buat masa ini sangat tidak tentu disebabkan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Ketidaktentuan perdagangan mungkin akan membawa kesan negatif terhadap kita dan Kerajaan Persekutuan terutamanya MITI cuba mengurus keadaan sebaik mungkin. Tetapi, keadaan antarabangsa juga mengalami satu momen yang sangat menarik. Momen ini adalah transisi order ekonomi dan politik lama daripada dunia unipolar kepada dunia multipolar. Dulu hanya barat yang kaya dan selepas pembubaran USSR, hanya Amerika Syarikat yang menguasai segala kuasa dan pengaruhan antarabangsa. Kini, India, China, Timur Tengah, negeri-negeri Global South lain juga mempunyai pengaruhan dan kekayaan. Hanya beberapa tahun yang lalu kita tidak akan jangka bahawa transformasi ekonomi Arab Saudi, UAE dan Qatar begitu cepat dan memberangsangkan dan boleh dianggap sebagai teladan kepada kita. Arab Saudi dan UAE negara-negara pengeluar minyak sekarang ini
melabur begitu banyak dalam tenaga yang boleh diperbaharui atau renewable energy. UAE juga mempunyai pelaburan yang sangat tinggi dalam artificial intelligence jauh lebih daripada kita di Malaysia. Dalam konteks dunia baru, Malaysia harus beralih dari menekankan identiti kita sebagai negara pedagang atau trading nation kepada paradigma negara berteknologi which we see ourselves not just as a trading nation, but as a technology nation.
Era baharu Malaysia perlu mengalir daripada Made in Malaysia dan menjadi OEM untuk negara-negara asing untuk gergasi multinasional kepada Made by Malaysia supaya kita menghasilkan syarikat-syarikat teknologi Malaysia yang mempunyai intelektual property tersendiri dengan teknologi dan inovasi Malaysia. Saya setuju dengan visi Pemangku Sultan bahawa Johor boleh bangkit dalam masa yang terdekat dan dicontohi oleh negeri-negeri lain di Malaysia jika Johor memimpin dengan anjakan paradigma. Pemangku Sultan juga bertitah, saya turut ingin mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri bahawa sekarang bukan musim Pilihan Raya Johor. Datuk Speaker, Dewan Johor akan dibubar secara automatik pada 20 hari bulan April 2027. Sebenarnya kita masih ada hampir dua tahun untuk memperkasakan cadangan baharu politik perpaduan ataupun political order baharu untuk menyokong kebangkitan dan transformasi ekonomi Johor dan Malaysia. Dua (2) tahun yang akan datang ini, jika kita menggembleng tenaga dan berganding bahu, Johor dan Malaysia boleh berkembang maju demi kesejahteraan rakyat walaupun dunia dalam keadaan ketidaktentuan. Saya ingin beralih ke tajuk Gaji dan Pekerjaan. Pemangku Sultan bertitah bahawa dalam usaha kerajaan negeri untuk terus menarik pelaburan dan projek baharu, saya juga berharap keutamaan diberi kepada rakyat Johor dalam soal peluang pekerjaan dan lebih banyak usaha dilakukan untuk mencipta lebih banyak pekerjaan khususnya pekerjaan bergaji tinggi. Pertumbuhan ekonomi Johor perlu dinikmati oleh semua rakyat Johor. Pendapatan rakyat Johor juga harus meningkat seiring untuk menampung kenaikan kos sara hidup. Saya setuju dengan saranan Pemangku Sultan bahawa perlunya anjakan paradigma. Kita biasanya sebut isu kos sara hidup tetapi sebenarnya beban kos sara hidup itu menjadi beban kerana gaji, paras gaji kita terlalu rendah. Apa yang kerajaan harus fokus tak kira kerajaan pusat atau kerajaan peringkat negeri, harus fokus adalah bagaimana kita menaikkan gaji untuk rakyat dan menjana transformasi ekonomi di mana syarikat dan rakyat Malaysia dapat manfaat dari pertumbuhan ekonomi. Beberapa usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Pertama kali sejak tahun 2007, gaji pegawai kerajaan dinaikkan. Kedua, gaji minimum ditetapkan pada tahap RM1,700.00. Dan pada bulan ini juga syarikat pelaburan berkaitan dengan
kerajaan atau GLIC telah menetapkan bahawa semua GLIC Persekutuan akan membayar living wage iaitu sekurang-kurangnya RM3,100.00 sebulan. Usaha kita haruslah bertumpu kepada kepada mengurangkan keperluan rakyat Malaysia untuk bekerja di Singapura dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing tanpa kemahiran. Ada yang kata, gaji tidak boleh naik sehingga produktiviti meningkat tetapi menurut Bank Negara bahawa produktiviti sejak tahun 2019 telah meningkat tetapi tahap gaji tidak meningkat secara selaras atau serentak. Kalau kita mengguna pakai automasi AI dan teknologi lain, kita boleh kurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing tanpa kemahiran dan meningkatkan produktiviti sekaligus. Apabila kerajaan negeri atau persekutuan menarik pelaburan domestik atau luar negeri, dua (2) kriteria perlu kita tekankan, iaitu teknologi dan gaji untuk rakyat Malaysia. Saya setuju dengan pandangan Ahli-Ahli yang terdahulu bahawa kalau kita bawah data center, kita mesti memastikan gaji untuk pekerja kita tinggi dan kita bukan sahaja pembawa data center tetapi juga membawa nilai ataupun rangkaian nilai, value chain yang secara keseluruhan. Saya harap semua GLC dan GLIC di peringkat negeri dan persekutuan, di peringkat negeri termasuk JCorp juga akan membayar living wage sekurang-kurangnya RM3,100.00 kepada semua pekerja mereka. Tahun lepas, pejabat saya telah menganjur Program Job Fair dan semua pempamer diperlukan untuk menawar pekerjaan gaji sekurang-kurangnya RM3,500.00. Saya akan teruskan program tersebut pada bulan Ogos ini dan saya harap kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk menggunakan syarat yang sama di mana semua program pameran pekerjaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri menetapkan bahawa gaji sekurang-kurangnya harus di tahap RM3,500.00. Tujuan kita ialah supaya anak Johor tidak perlu bekerja di Singapura dan ini saya rasa harus jadi asas kita, asas pemikiran kita. Saya beralih ke tajuk Perumahan dan Perumahan Bukan Milikan. Pemangku Sultan bertitah bahawa kemudahan tempat tinggal untuk Bangsa Johor juga menjadi keutamaan keluarga DiRaja sejak dahulu lagi. Dalam konteks menjadi Johor kuasa besar ekonomi, kita perlu pekerja rakyat Malaysia terutamanya di antara jurutera-jurutera dan juruteknik Malaysia supaya mereka tidak bekerja di Singapura tetapi bekerja di Johor. Kalau semua jurutera dan juruteknik kita tidak bersedia bekerja di Johor kerana gaji di Singapura lebih tinggi, Johor tidak akan jadi kuasa ekonomi besar yang boleh menghasilkan teknologi Made by Malaysia.
Dasar perumahan kita tidak harus ditentukan oleh pemaju-pemaju tetapi tertakluk di bawah visi ekonomi kita. Dasar perumahan adalah untuk menyokong dasar ekonomi kita secara keseluruhan. Saya harap kerajaan negeri, GILC, GLC dan pemaju taman perindustrian di negeri Johor, haruslah mewujudkan lebih banyak perumahan sewaan atau asrama bukan
untuk warga asing tetapi asrama untuk pekerja rakyat Malaysia termasuk jurutera dan juruteknik warga Malaysia. Komponen kos yang paling besar untuk rakyat Malaysia bekerja di Singapura adalah kos sewa rumah di Singapura. Kalau kos perumahan untuk bekerja di Johor tidak besar, maka ramai akan memilih bekerja di Johor.
Saya telah melawat sekurang-kurangnya 150 rumah semasa banjir besar pada bulan Mac termasuk rumah-rumah setinggan di kawasan Perling dan kawasan Iskandar Puteri. Saya rasa sedih, ramai yang bekerja di Johor termasuk yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terpaksa bermastautin dalam rumah setinggan kerana tidak ada rumah yang sesuai dengan sewaan berpatutan. Nasib ini juga menghadapi ramai pegawai kerajaan awam, penjawat awam termasuk Polis yang bukan berasal dari Johor Bahru. Saya dimaklumkan, IPD Iskandar Puteri mempunyai kekuatan 750 orang pegawai dan anggota tetapi IPD Iskandar Puteri hanya mempunyai 104 unit rumah kuarters untuk pegawai dan anggota. Bermakna 646 pegawai dan anggota lain terpaksa sewa dari pasaran perumahan awam, kalau mereka bukan asal dari sini. Setiap pegawai yang menyewa dapat elaun sebanyak RM500.00 dan setiap anggota lain naik pangkat dapat elaun RM300.00 sebulan. Tetapi kita semua maklum bahawa elaun ini tidak mencukupi untuk penyewaan rumah di Iskandar Puteri dan di Greater Johor Bahru.
Pegawai dan anggota agensi seperti Jabatan Imigresen, Bomba, Jabatan Penjara dan sebagainya yang berkhidmat di Greater Johor Bahru menghadapi keadaan yang sama. Saya harap konsep bahawa bukan semua orang perlu memilik rumah dan konsep bahawa majikan perlu mengambil kira dan memikir keadaan perumahan pekerja mereka diterima oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Saya harap, GILC dan GLC seperti UEM, IIB dan JCorp bersama pemaju taman perindustrian akan membina lebih banyak perumahan sewa untuk jurutera, juruteknik dan penjawat awam di Johor demi kebangkitan ekonomi Johor. Pembinaan perumahan seperti ini boleh diberikan galakan oleh kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan boleh dibiayai melalui skim REIT.
Isu yang saya ingin bawa selepas ini ialah bagaimana kita mencipta permintaan untuk pengusaha dan penjaja di pasar malam dan bazar. Pada Jumaat yang lalu, saya hadir ke Program Pelancaran Insentif Khemah anjuran PUJB bersama Dato’ Menteri Besar dan EXCO Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Sebanyak 2,000 khemah telah diedar kepada penjaja dan pada tahun lepas dan 6,000 akan diedar pada tahun ini. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas usaha ini.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi kepada Dewan ini bahawa satu (1) inisiatif yang saya telah bawa bersama dengan Yang Berhormat ADUN Skudai iaitu kami telah memberi baucar kepada mereka yang memerlukan dan memberikan baucar kepada mereka untuk mereka pergi ke pasar dan untuk mereka membeli belah di pasar. Program ini yang kami anjurkan kerana kami rasa bukan sahaja kita harus membantu mereka yang memerlukan, bukan sahaja kita pendekatan lama ialah kita memberi bakul makanan tetapi sebenarnya kalau kita beri baucar kepada mereka, mereka boleh belanja di pasar awam ataupun di bazar. Dengan cara ini, kita membawa mereka yang memerlukan dengan baucar yang diberi oleh kerajaan atau diberi oleh ADUN dan Ahli Parlimen, supaya mereka boleh meningkatkan aktiviti ekonomi di pasar. Pasar-pasar awam kita telah mengalami kemelesetan sejak COVID. Ramai telah berubah tabiat dan membeli melalui online dan semua pasar yang saya lawat, mereka kata bisnes mereka telah kurang 30% sejak masa COVID. Dan saya harap semua ADUN di sini dan juga kerajaan negeri apabila kita memikir untuk membantu rakyat miskin, memberikan sumbangan, memberikan bakul makanan, kita boleh tukar pendekatan supaya kita membawa bisnes ke pasar-pasar.
Datuk Speaker, saya juga ingin sentuh isu pengurusan sisa pepejal. Negeri dan negara yang makmur dan hebat perlu ada sistem pengurusan sampah yang efisien, efektif dengan kos yang berpatutan. Sampah di Bandaraya Greater Johor Bahru hanya dapat diuruskan di tapak pelupusan sampah di Seelong, Kulai terutamanya selepas TPS Tanjung Langsat, Pasir Gudang berakhir perkhidmatan pada hujung tahun ini. Rungutan kontraktor pelupusan sisa dan pemandu lori sampah bahawa kesesakan jalan ke Seelong dan juga kesesakan di TPS Seelong yang ada masanya memerlukan mereka beratur beberapa jam mengakibatkan mereka hanya dapat menjalankan satu (1) atau paling dua (2) trip sehari. Memandangkan aktiviti ekonomi JS-SEZ akan terus meningkat, saya mencadang bahawa kerajaan melaksanakan tiga cadangan ini: 1. Mewujudkan sistem pemindahan sisa atau transfer station di Greater Johor Bahru terutamanya di Iskandar Puteri. Transfer Station ini juga boleh menjadi Kemudahan Perolehan Sumber atau Material Recovery Facility untuk membantu pelaksanaan pengasingan sisa pepejal.
2. Mewujudkan tapak pelupusan khas sisa pembinaan di Iskandar Puteri dengan tapak seperti ini sisa pembinaan tidak perlu dihantar ke Seelong.
3. Fasiliti pengurusan sisa berjadual di Greater Johor Bahru. Bagi mengurangkan kebergantungan fasiliti di Negeri Sembilan dan untuk melengkapi fasiliti di Pengerang, satu fasiliti pengurusan sisa berjadual wajar diwujudkan di kawasan JS-SEZ.
Kita maklum bahawa sampah adalah satu sebab banjir berlaku di sebahagian tempat dan juga dikesan bahawa adanya tapak pelupusan haram di kawasan bandar. Pengurusan sisa pepejal di Johor, kita Johor Bahru dan JS-SEZ memerlukan penambahbaikan dan perhatian daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Saya juga ingin mencadang bahawa kuasa penguatkuasaan yang diberi kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) diturunkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya aktiviti penguatkuasaan boleh dijalankan dengan lebih berkesan di peringkat tempatan mengguna pakai tenaga kerja PBT.
Tajuk yang akhir ialah budaya penyelenggaraan, Datuk Speaker. Semalam saya bersama dengan Yang Berhormat ADUN Kota Iskandar membuat lawatan ke Jalan Jasa 60, Mutiara Rini selepas dimaklumkan bahawa hakisan tanah dan tanah runtuh telah sampai tahap yang membahayakan penduduk. Saya mengucap terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, Pegawai COO SAJ Ranhill dan Pengurus Besar TNB kerana sudi memberi perhatian semasa dihubungi. Saya dimaklumkan bahawa JCB sudah ada di tapak sejak semalam dan kerja pembersihan telah bermula. Tetapi, pengajaran ini dari insiden ini dan banyak lagi insiden dan musibah yang berlaku di negeri kita adalah bahawa budaya penyelenggaraan sangat diperlukan.
Langkah-langkah preventif adalah lebih penting daripada pengurusan selepas tragedi berlaku. Kes Jalan Jasa 60, Mutiara Rini telah dimaklumkan kepada SAJ sejak bulan April tetapi SAJ mengambil masa untuk mengesan keadaan dan melantik kontraktor untuk membaiki cerun. Apabila tanda diputuskan sebulan selepas kes dilaporkan, keadaan telah sampai tahap membahayakan penduduk. Ini hanya satu (1) kes. Banyak lagi insiden yang melibatkan banyak lagi agensi yang memilik tanah atau aset-aset lain. Saya berharap satu (1) unit koordinasi oleh kerajaan negeri ditubuhkan untuk memastikan semua cerun dan sungai dipantau dan diselenggarakan setiap masa supaya kejadian tanah runtuh atau banjir dikurangkan dan risiko terhadap penduduk diminimumkan. Secara kesimpulan Datuk Speaker, adalah harapan kita bahawa Johor dan Malaysia akan bangkit dalam tentangan dunia yang baru, new political order, new global order, dengan anjakan paradigma yang dititahkan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Tentangan politik baru perpaduan adalah asas kemajuan dan kesejahteraan negeri dan negara kita. Terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Perling, tahniah. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:50 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1:20 petang.
Persidangan disambung semula pada jam 2:50 petang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Stulang, 30 minit.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, atas peluang yang diberikan untuk membahaskan Rundingan Menjunjung Kasih Titah Perasmian Pemangku Sultan Johor Bagi Mesyuarat Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 ini. Patik merafak sembah setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah merasmikan persidangan kali ini. Atas keprihatinan Baginda, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail telah memberi penekanan terhadap kesejahteraan Bangsa Johor terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dari segi ekonomi, infrastruktur, sahsiah, pendidikan, penjagaan kesihatan serta kebersihan, kemiskinan, pembangunan dan pencapaian sukan Johor. Tahniah juga kepada JDT kerana telah melengkapkan kejuaraan triple setelah memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim. Tahniah diucapkan.
Politik semasa. Saya ingin menyentuh sedikit tentang politik semasa Johor. Ramai yang tertanya-tanya apakah hala tuju politik Johor? Bilakah PRN Johor akan diadakan? Apakah bentuk kerjasama yang akan ditonjolkan? Ini adalah kerana keunikan dalam politik Johor di mana di peringkat persekutuan, hubungan PH-BN adalah Kerajaan Perpaduan, manakala di peringkat negeri, hubungan BN-PH adalah di antara kerajaan dan pengimbang. Kita tidak boleh mengelakkan sebarang perbincangan yang sentiasa akan timbul di kalangan rakyat mahupun parti politik. Selain itu, belum ada sebarang keputusan telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi setiap parti. Walau bagaimanapun, tidak kira apa pun atau sebarang perbincangan yang telah timbul, hakikatnya sekarang adalah tidak ada yang pertama, tidak ada sebarang usaha oleh pihak pemimpin PH untuk menjatuhkan kerajaan Johor sekarang atau melumpuhkan imej kerajaan Johor sekarang.
Yang kedua, sejak awal lagi kami telah nyatakan pendirian dengan jelas, kami akan terus berperanan sebagai pengimbang yang konstruktif dengan memberi teguran serta cadangan membina demi kepentingan rakyat. Kami juga sentiasa dan sedia berbincang dengan kerajaan Johor sebarang dasar yang berkait rapat dengan kepentingan Bangsa Johor. Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan fokus kepada tanggungjawab sebagai ADUN seperti yang disarankan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor. Yang ketiga, PH Johor sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan berhubung kerjasama politik pada masa depan, bahkan kita ada masa lagi kerana tempoh penggal Dewan Negeri hanya akan berakhir April 2027.
Yang keempat, dalam usaha mengekalkan hubungan baik BN-PH di Johor, kita juga akan membantu mengekalkan keteguhan hubungan akrab PH-BN di persekutuan dan seterusnya mengukuhkan kestabilan politik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Yang kelima, formula kerjasama antara PH dan BN telah menampakkan kesan yang amat ketara semasa PRK di Pulai, Simpang Jeram dan Kota. Dan terima kasih juga saya ucapkan kepada para pelaksana kerajaan atas kerjasama yang diberikan tanpa melihat kami sebagai pihak yang tidak mesra dan juga menyalurkan bantuan sokongan melalui agensi yang berkaitan demi menyelesaikan masalah rakyat. Bahkan, telah dilibatkan dalam sesetengah mesyuarat, program atau majlis yang melibatkan kepentingan rakyat.
Titah Duli Yang Amat Mulia yang menyentuh tentang tarikan pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku tahun pertama tahun 2025 yang didorong oleh perlaksanaan beberapa inisiatif utama. JS-SEZ menunjukkan Duli Yang Amat Mulia amat prihatin tentang JS-SEZ. Lantaran itu, saya akan membahaskan beberapa isu yang berkaitan dengan sempadan dan juga JS-SEZ ini termasuk kekeliruan aplikasi di pintu masuk, perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan, penggunaan dron, pengangkutan kargo di Selat Tebrau, tarikan R&D road EV dan digital nomad zone.
Jadi, yang pertama sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh tentang laluan trafik di sempadan Malaysia - Singapura di mana apa yang saya nak utarakan adalah berkenaan dengan kekeliruan waze dan google map di pintu masuk CIQ BSI yang berlaku sekarang. Jadi, isu berkaitan dengan ralat navigasi, navigation error dengan izin yang ditunjukkan oleh aplikasi navigasi telah lama wujud dalam dan terus menyebabkan kesulitan kepada para pengembara rentas sempadan dan Bandaraya Johor Bahru. Apa yang berlaku adalah kekeliruan laluan berlaku semasa menuju ke CIQ JB. Kadang-kadang navigasi membuat pusingan ‘U’ disebabkan pin lokasi yang ditetapkan di dewan ketibaan CIQ. Pengembara juga telah secara tidak sengaja memasuki kawasan larangan CIQ kerana tersasar ke laluan yang menuju ke pintu masuk khas untuk kakitangan sahaja. Jadi, secara keseluruhan situasi ini menyebabkan kesulitan kepada para pengembara.
Jadi, pejabat saya telah menyiapkan laporan berkenaan dengan kekeliruan dalam aplikasi google map dan waze dengan pin lokasi yang memberikan arahan navigasi yang kurang tepat. Jadi, dalam laporan ini adalah juga pin lokasi menunjuk ada yang tepat ada yang tidak tepat. Jadi, syor saya adalah menghantar maklumat lokasi yang tepat ini kepada plan task aplikasi navigasi yang bagi memastikan penandaan lokasi pin yang tepat dan disahkan bagi membantu pengguna mendapat arah tuju yang betul. Menasihati pengembara supaya menggunakan lokasi pilihan mereka di Singapura sebagai destinasi dalam aplikasi navigasi.
Yang ketiga, mengepinkan pin lokasi yang tepat di laman rasmi kerajaan seperti AKPS dan berkongsi pin lokasi yang tepat menggunakan ilustrasi ringkas di media sosial. Jadi, saya rasa ini amat penting dan nanti laporan ini akan dihantar kepada AKPS dan juga kepada YB EXCO untuk tindakan selanjutnya agar boleh berhubung dengan waze dan google map untuk mengubah ketepatan dalam aplikasi tersebut.
Yang kedua, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengutarakan tentang perbincangan dua hala Malaysia - Singapura agar perkhidmatan kenderaan sewa jenis MPV boleh beroperasi secara sah rentas sempadan Malaysia - Singapura. Isu ini telah lama ditimbulkan dan saya rasa memerlukan komitmen yang kuat di antara kedua-dua buah negara. Untuk makluman, sekitar 400,000 hingga 500,000 rakyat Malaysia dan Singapura saling merentas sempadan setiap hari bagi berbagai keperluan seperti bekerja, melancong, program kesukanan, transit lapangan terbang dan lain-lain di mana keperluan untuk mendapatkan perkhidmatan sewa kenderaan jenis MPV atau jenis Sedan semakin meningkat. Aktiviti seperti ini memberi impak yang sangat besar terhadap sektor pelancongan, perhotelan, kuasa membeli-belah, tarikan kepada makanan dan minuman juga dan juga penginapan berserta hiburan. Ia juga menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang memandu kereta sewa tersebut dan ini juga menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi sempadan.
Penglibatan ini mendapat sambutan dan permintaan yang sangat tinggi di Johor - Singapura kerana ia menawarkan perkhidmatan pengangkutan terus rentas sempadan, pintu ke pintu, door to door bukan sampai di stesen tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, perkhidmatan industri ini masih belum mendapat persefahaman untuk beroperasi secara sah antara Malaysia dan Singapura. Berdasarkan laporan aduan sejak kebelakangan ini, saya difahamkan rakyat Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ini telah ditahan dan dikenakan kompaun oleh pihak LTA Singapura sehingga menjejaskan mata pencarian mereka. Sebenarnya bukan kereta berdaftar Malaysia sahaja yang beroperasi di Singapura, kereta berdaftar Singapura juga ada yang beroperasi di Malaysia. Jadi, oleh itu saya berharap isu ini dapat diketengahkan dan dibincangkan secara bersama antara agensi berkaitan seperti LTA, JPJ, APAD, MOT kedua-dua buah negara dan pihak yang memberikan perkhidmatan ini untuk mendapatkan satu kata putus yang terbaik. Jadi perbincangan bolehlah merangkumi lesen, public service vehicle, private hire car driver, vocasional licence, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala di kedua-dua buah negara serta insurans rentas sempadan.
Jadi seiring dengan peningkatan keperhubungan perjalanan antara Johor dan Singapura, terutamanya selepas Zon Ekonomi Khas Johor, kedua-dua pihak berpotensi meraih manfaat besar daripada pertumbuhan ekonomi sempadan ini. Jadi saya berharap, sebarang pertikaian atau cabaran yang timbul berkaitan dengan inisiatif ini dapat diselesaikan secara konstruktif melalui dialog dan persefahaman bersama, agar tiada pihak yang mengalami kerugian yang tidak sewajarnya pada masa depan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang ketiga berkenaan dengan Johor-Singapore Special Economic Zone dan juga berkenaan dengan pengurusan sempadan. Saya rasa yang ketiga ini juga sangat penting, iaitu meningkatkan jaringan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura melalui penghantaran kargo menggunakan dron, drone deliveries. Saya rasa ini banyak negara telah pun mempraktikkan inisiatif ini. Jadi bagi meningkatkan kecekapan bagi sektor penghantaran barangan antara dua buah negara, iaitu Malaysia dan Singapura, untuk permulaan, saya cadangkan penggunaan kargo dron ini untuk barangan mudah kendali dan berisiko rendah atau pun dengan keberatan yang lebih rendah. Kebergantungan secara mutlak kepada pengangkutan darat antara dua persempadanan BSI dan KSAB telah menyebabkan menambah kepada risiko kesesakan, kelewatan dan pelepasan karbon yang banyak.
Untuk dron yang merupakan low attitude economy dengan izin, saya mencadangkan untuk cara pengangkutan mudah kendali ini diberi peluang untuk dikaji keberkesanannya, selain menilai beberapa kelebihan ini. Kelebihan ini termasuklah yang pertama, dengan mengagihkan sejumlah penghantaran melalui penghantaran dron iaitu dari Malaysia ke Singapura, Selat Tebrau pakai dron pakai hantar barang yang boleh mengurangkan kesesakan di check point BSI dan KSAB seterusnya mendapatkan aliran trafik yang lebih lancar. Keadaan ini boleh beroperasi secara berterusan dengan pengawasan minimum, seterusnya mengurangkan kos logistik yang sedia ada. Dan yang ketiga ia dapat mengurangkan pelepasan karbon yang menyebabkan pencemaran alam sekitar untuk jangka masa yang panjang, lebih-lebih lagi pada masa sekarang, ramai syarikat memerlukan model business dengan darjah karbon yang rendah.
Pada Februari 2024 yang lalu, Aerodyne Group dan Drone Tech telah pun mengumumkan kesediaan mereka untuk bergabung dan memulakan perkhidmatan rentas sempadan menggunakan dron, namun belum mendapatkan sebarang kemajuan. Jadi untuk makluman, penggunaan dron untuk mengangkut barangan telah bermula di China, Indonesia, Japan, UAE, Iceland bahkan di Malaysia dron juga digunakan untuk mengangkut durian dari kebun ke pekan. China telah menggunakan kaedah ini untuk food delivery dan juga mengangkut kopi.Ghana, Belgium menggunakan ia untuk menghantar ubat. Jadi bagi memajukan inisiatif
ini, saya berharap agar agensi-agensi berkaitan dari kedua-dua negara MACOM, CAAS. Pihak berkuasa pelabuhan serta pemegang taruh logistik dapat menilai semula kebolehlaksanaan penghantaran menggunakan dron merentasi sempadan. Satu projek perintis atau proof of concept boleh dilaksanakan untuk menilai aspek teknologi, peraturan dan ekonomi bagi inovasi ini.
Yang keempat, Yang Berhormat Datuk Speaker, ini juga saya rasa boleh membantu Johor Special Economic Zone. Yang keempat ialah Digital Nomad Zone atau DE Rantau Nomad Pass. Melalui inisiatif MDEC, Malaysia Digital Economy Corporation, Program DE Rantau Nomad Pass sebenarnya telah lama diperkenalkan bagi menggalakkan nomad digital asing yang layak melancong dan bekerja di Malaysia sehingga 24 bulan. Inisiatif ini juga menggalakkan mereka membawa keluarga mereka untuk datang ke Johor. Jadi untuk makluman, Chiang Mai, Thailand merupakan hab digital nomad di Thailand, manakala Changru dan Bali merupakan tempat tarikan profesional digital di Bali. Bangkok dan Ho Chi Minh juga amat berdaya saing dalam industri ini. Jadi bandar-bandar South East Asia, Asia Tenggara ini saya rasa amat kompetetif untuk Digital Nomad Zone ini.
Tahun 2026, Tahun Melawat Johor. Pada pendapat saya, dengan banyak tarikan pelancongan yang ada di Johor bertambah dengan industri sokongan berkaitan yang banyak, kita perlu mempertingkatkan potensi ini dengan menggalakkan lebih ramai profesional IT Digital datang ke Johor melalui konsep Digital Nomad Zone, iaitu Program DE Rantau Nomad Pass yang diperkenalkan oleh MDEC. Tourism Johor dan MDEC serta pemegang taruh swasta yang berkaitan boleh bermesyuarat agar Johor boleh mewujudkan zon khusus yang khas untuk dipromosikan di bawah inisiatif Program DE Rantau Nomad Pass agar dasar ini akan memberi impak pelancongan dan ekonomi digital yang paling optimum. Dengan adanya jaringan internet yang berkesan dan digabungkan dengan co-working space F&B, keindahan alam yang sedia ada, jaringan pengangkutan yang semakin hari semakin maju, tempat tinggal selesa dan mampu dibiayai, tarikan kepelbagaian kebudayaan yang unik dan sebagainya, saya pasti Digital Nomad Zone di Johor mampu merangsang sektor pelancongan Johor di samping menyediakan tempat kerja kepada mereka yang ingin bekerja secara remote.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif kelima ataupun cadangan kelima, saya rasa juga sangat penting kerana ia berkaitan dengan green transition, EV dan green energy juga. Jadi untuk JS-SEZ ini yang kelima, saya mencadangkan supaya kita giat menjemput penggiat industri kenderaan EV untuk membuka hab penyelidikan dan pembangunan, R&D di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Cara inilah sangat penting, bukan sahaja kilang kereta, saya rasa ini penting adalah hab penyelidikan dan pembangunan R&D untuk
EV. Jadi penggunaan kenderaan EV yang semakin meluas di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 63.8% pada tahun 2024 berasaskan 21,789 pendaftaran baru berbanding 13,301 unit pada tahun 2023. Ini mencerminkan potensi besar untuk pembangunan sektor R&D EV di negara ini.
Kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura adalah lokasi yang ideal untuk merintis penyelidikan dan pembangunan sektor ini. Mengapa? Kerana hal ini selari dengan inisiatif negeri untuk menarik pelaburan antarabangsa, menghasilkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di samping menggalakkan pembangunan yang mampan. Dengan menubuhkan hab R&D di sini, pengeluar EV dapat mempercepatkan pengumpulan data yang pelbagai yang penting, mengumpul data pemanduan dunia sebenar dan menambah baik model AI mereka, dan melaksanakan kemas kini OTA yang lebih bermakna kepada pengguna tempatan kerana Malaysia menawarkan persekitaran strategik untuk pengumpulan data.
Sebagai sebuah negara yang menggunakan kenderaan pacuan sebelah kanan dan beroperasi di bawah Sistem Lalu Lintas Kiri (LHT), reka bentuk jalan raya, corak penyatuan lorong, tingkah laku di bulatan, papan tanda serta tabiat pemanduan kita berbeza secara ketara daripada negara-negara yang menggunakan sistem laluan lintas jalan. Kepelbagaian ini amat penting untuk melatih model AI agar menjadi lebih umum, adaptive dan boleh diguna pakai di peringkat global. Jadi, infrastruktur sokongan untuk penggunaan kenderaan EV juga wajar diperluaskan ke seluruh negeri agar memudahkan pengecasan dan perkhidmatan berkait dicapai oleh penggunanya. Saya mengalu-alukan para pengeluar kenderaan EV untuk merebut peluang ini dengan komitmen yang tepat, JS-SEZ berpotensi untuk muncul sebagai hab penyelidikan dan pembangunan EV full tech yang pertama di Asia Tenggara sekali gus menerajui model baru ekonomi sempadan serta melonjakkan pertumbuhan ekonomi serantau.
Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini apa yang saya tonjolkan adalah perbincangan dan bahaskan adalah berkaitan politik semasa dan juga mengetengahkan beberapa cadangan untuk memperbaiki potensi Johor Special Economic Zone. Dan saya memang berharap dengan inisiatif semua ini kita boleh menggembleng tenaga sama-sama kita memajukan negeri Johor. Jadi untuk pantun penutup, mungkin saya baca separuh, Johor teguh berdaya saing, pacu pembangunan usaha bersama; gerak kerja haruslah seiring, kejayaan dikecapi bersama. Jadi saya menyokong rundingan menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Stulang. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Sri Medan, 20 minit. 20 minit. Ada pantun ke?
Ada, ada. Saya nak puji dulu Rengit nanti. Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Selawat). Dan juga Salam Sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker yang memberi peluang kepada Sri Medan untuk sama-sama berbahas pada petang ini. Rakan-rakan Ahli-Ahli Yang Berhormat, rakan-rakan pemerhati, pemerhati tidak ada. Pertamanya patik ingin merafak sembah menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Mesyuarat Pertama iaitu Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tunku.
Keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker, Sri Medan ingin mengambil kesempatan juga di Dewan yang mulia ini mengucapkan tahniah, setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, menjulang trofi Piala Malaysia tahun 2024, 2025 sekali gus mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut. (Dewan bertepuk).
Yang ketiganya Yang Berhormat Datuk Speaker, pasti Sri Medan tidak akan lupa jasa besar Yang Amat Berhormat Menteri Besar kepada Sri Medan. Alhamdulillah pada tahun lepas, pada persidangan bulan 11, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk melunaskan bayaran RM1,500.00 kepada mereka yang mangsa-mangsa banjir. (Dewan bertepuk). Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, pengagihan itu berlaku tiga (3) hari di Dewan Sri Medan. Sri Medan jadi tuan rumah. Hari pertama, kedua, ketiga.
Ini mangsa banjir yang tahun bila Yang Berhormat?
Tahun 2023. Pada ketika itu saya membayangkan bahawa 7,994 menerima dengan jumlah keseluruhan RM11.991 juta, yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Johor pada ketika itu. Dan saya sebut pada persidangan yang lepas sebelum itu bahawa tanggungjawab ini adalah bukan tanggungjawab kerajaan negeri, tapi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengambil tanggungjawab untuk sama-sama menyelesaikan hutang kepada mangsa-mangsa banjir tersebut. Jadi, pada ketika itu hari pertama orang-orang Sri Medan yang terima, jadi saya tak berkesempatan untuk pergi hari pertama, saya pergi hari kedua, ketiga tetapi bila saya masuk dalam dewan, saya tengok reaksi daripada penerima itu tak ada kepada saya. Bila saya tanya satu (1), dua (2) orang, baru saya tahu rupanya penerima itu
bukan Sri Medan sahaja. Penerima yang lebih ramai, 70% adalah penerima daripada kawasan luar Sri Medan. Bermaksud pada ketika itu, saya membayangkan bahawa perjuangan kita ini sebenarnya bukan untuk satu tempat je Yang Berhormat Datuk Speaker tetapi kita sama-sama berjuang kerana inilah perjuangan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ada dengan kerajaan negeri Johor untuk membantu bangsa banjir. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang paling hebat pada hari ini saya amat berbangga kerana saya berada di bawah kerajaan negeri Johor pada hari ini di bawah Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana berjaya untuk memacu negeri Johor dalam sektor ekonomi. Kalau dimaklumkan ketika titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, apa yang kita capai pada hari ini jumlah pelaburan RM27 billion pada tahun 2024 dan hasil pendapatan negeri RM2.1 billion, tidak pernah pun sebenarnya sebelum ini sepanjang saya sebagai ADUN Sri Medan, kerajaan Johor dapat mencapai tahap seperti itu dan pada ketika inilah kalau yang Ahli-Ahli Yang Berhormat lihat daripada tahun 2025, suku yang pertama, penambahan hasil negeri RM598 juta iaitu 29.8% lebih daripada anggaran awal. Ini membuktikan bahawa pada tahun 2025, kita boleh menjangkakan bahawa pendapatan hasil negeri akan lebih daripada tahun 2024. Pada tahun 2024, RM2.1 billion dan tak mustahil kalau congak kasar saya sebagai ADUN Sri Medan, kalau dalam suku pertama kita ada RM600 juta, kalau kita kalikan empat sehingga bulan 12 kita boleh capai RM2.4 billion. Ini yang kita harapkan kerana Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melihat bahawa dengan pelaburan yang ada di Johor - Singapore Special Economic Zone pada hari ini, tadi saya pun dengar daripada rakan-rakan, daripada Skudai menyebut bahawa saya pernah sebut sebelum ini, Johor - Singapore Special Economic Zone. Sebab itu apa yang kerajaan lakukan pada hari ini sebenarnya impak dia kita mengharapkan akan berlaku di seluruh negeri Johor. Kerana apa? Kita pun tahu, saya dah sebut sebelum ini Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa apa yang kita tahu di dalam apa yang Singapura mencorakkan ekonomi mereka pada hari ini, mereka masih kekurangan tanah, mereka kekurangan pekerja kerana pada hari ini mereka mempunyai tanah yang terhad. Sebab itu, apa yang disebut oleh rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sebentar tadi, saya setuju kerana apa yang kita ada pada hari ini, di Johor terutamanya adalah soal pekerja-pekerja dan juga soal bagaimana kita menyediakan tanah untuk mereka.
Jadi, kita mengharapkan bahawa apa yang berlaku di Johor - Singapore Special Economic Zone ini tidak membelakangkan kedaulatan negeri Johor dan juga kepentingan rakyat Johor. Ini yang paling penting kerana kita mahu, hari ini kalau kata kita lihat data yang terkini, lebih 200,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura. Kalau kita lihat pada keseluruhan, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bukan 200,000 Yang Berhormat Datuk Speaker, lebih daripada 1 juta yang bekerja di Singapura. Data ini semakin meningkat kerana mereka
memilih untuk bekerja di Singapura kerana apa? Kerana mereka mendapat gaji yang besar. Tetapi kalau kita tidak mengawal, apa yang berlaku pada masa akan datang di Johor-Singapore Special Economic Zone, mereka menawarkan harga yang rendah. Saya yakin rakyat Johor sendiri pun tak akan bekerja di Johor-Singapore Special Economic Zone. Sebab itu, ini perlu diambil berat oleh Kerajaan Negeri Johor bahawa setiap perancangan kita ini akhirnya akan memberi kesan yang positif, akhirnya memakmurkan negeri Johor terutamanya kepada rakyat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sri Medan sebelum ini telah mencadangkan dalam Dewan iaitu yang pertama kalau rakan-rakan pun boleh ingat, saya telah mencadangkan tentang susur keluar highway kerana Sri Medan ini tak nak ketinggalan Yang Berhormat Datuk Speaker. Walaupun kita ini sering dimomokkan sebagai kawasan banjir, kawasan yang tidak memberi pulangan ekonomi yang besar kepada negeri Johor tetapi sebenarnya Sri Medan mempunyai potensi yang besar kalau digarap dengan penuh ilmiah oleh pakar-pakar ekonomi dan sebagainya untuk memastikan bahawa Medan ini boleh maju lebih hebat daripada hari ini. Kalau hari ini saya selalu bercakap ada sesetengah-sesetengah rakan-rakan Sri Medan akan bercakap ini soal banjirlah, tak habis-habis. Soal banjir, Medan banjir, banjir, banjir kilat, banjir termenung. Saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, pada bulan April yang lalu kita menghadapi banjir termenung tetapi inisiatif daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan barisan EXCO yang ada, EXCO Infrastruktur dan juga EXCO Kerajaan Tempatan, dia berjaya menyelesaikan masalah banjir. Kerana apa yang berlaku pada bulan 2, 3 dan 4 ini, kalau ikut jangkaan daripada MET, Jabatan Meteorologi bahawa kita akan menghadapi perkara yang sama pada bulan 8, 9 dan 10.
Ini sebenarnya satu pengajaran kepada kita, Sri Medan melihat bahawa apa yang berlaku pada bulan 2, 3 dan 4 ini, dia akan berlaku pada bulan 8 dan 10. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya selalu mendapat maklumat daripada pihak JPS, kadang-kadang dia memaklumkan kepada kita peruntukan tidak cukup. Bila saya maklumkan pada JPS Daerah Batu Pahat, dia kata pam yang digunakan pun tidak mencukupi, pam yang ada ini sekadar untuk daripada NADMA dan JPS terpaksa mencari pam daripada mana-mana negeri untuk membantu kawasan kita. Dan bila perkara ini dah berlaku pada bulan 2 dan 3 tempoh hari, saya berharap Sri Medan tak nak lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita banjir termenung, bila banjir termenung, kesan dia panjang, bila hari raya tempoh hari, bulan puasa air tak turun dekat kebun-kebun, ekonomi orang-orang Sri Medan akan terencat.
Jadi saya berharap, bahawa dengan apa yang berlaku pada bulan Februari, Mac dan April menjadi satu pengajaran kepada kita semua. Tak akan kita nak perkara sama berulang, kalau kata kita perlukan pam air, kerajaan negeri perlu kerjasamalah dengan JPS dan kerajaan persekutuan pun kena mengambil berat keadaan ini. Kalau kata peruntukan itu kurang, kenalah cari peruntukan. Contoh, kalau kata di kawasan saya kita ada 404 kilometer panjang parit di kawasan saya, 404 kilometer dengan 45% sahaja peruntukan yang ada, tak mungkin. Saya kadang-kadang, kita mendapat maklumat daripada pihak JPS, Yang Berhormat, kawasan ini kita tak boleh nak dalamkan, kawasan kita hanya bersihkan kerana dalam spek daripada JPS ada untuk pembersihan parit sahaja bukan dalamkan tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker, kadang-kadang kita perlu juga mendengar pendapat daripada orang-orang lama dan juga orang kampung.
Contoh yang saya boleh beri pada Yang Berhormat Datuk Speaker, di Kampung Parit Lapis Laman Mukim 18 dan juga Kampung Parit Lintang Laman Mukim 18. Apa yang berlaku di situ? Saya ingat pihak JPS selalu membersihkan parit tetapi apa yang dilakukan itu tidak memberi kesan kerana bila kata hujan lebat dalam tempoh bulan 2, 3 dan April tempoh hari, air termenung di kebun-kebun tetapi pandangan daripada orang kampung, dia cakap, Yang Berhormat Datuk tolonglah kita dalamkan sepanjang Parit Larit Lintang Laman. Alhamdulillah, perkara itu pun selesai dan bila Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengarahkan kepada pihak JPS negeri, saya dimaklumkan dan juga pihak JPS daerah, kita mesti pasang pam, kaedah pam tak pernah digunakan, tak pernah digunakan sebelum ini tetapi oleh kerana arahan Yang Amat Berhormat Menteri Besar minta pasang pam, banyak kawasan telah berjaya kita kurangkan risiko banjir termenung, ini yang kita nak. Apa juga yang dilakukan pada hari ini, mesti memberi kesan yang positif kerana rakyat sekarang memerhatikan kita.
Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan pada kerajaan negeri dan juga pada EXCO yang berkaitan untuk melihat keadaan yang mungkin berlaku pada bulan Ogos, September dan Oktober, Monsun Timur laut fasa yang kedua. Kerana ini penting, kita tak nak nanti sendiri kata Segamat dan juga rakan-rakan yang bercakap daripada Kukup bahawa keadaan banjir ini, Sri Medan dah biasa dah rakan-rakan Yang Berhormat. Kita dah biasa tetapi generasi yang dah biasa tu dah tak ada dah, yang ada ini generasi-generasi baharu, mereka tak boleh terima lagi keadaan sawit tak boleh nak petik, kebun tak boleh nak diusahakan kerana inilah yang dihadapi oleh kita di peringkat bawah dalam keadaan sawit harga hari ini RM650.00 per tan. RM650.00 per tan, kalau harga sawit RM180.00 per tan saya mungkin tak ada masalah tetapi dengan harga RM650.00 per tan mereka tak boleh petik sawit lebih daripada dua bulan, saya rasa kesan dia bukan kata kepada keluarga, akhirnya kesan kepada ekonomi seluruh kawasan Sri Medan yang terlibat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk menyelesaikan masalah banjir pertama tadi saya sebut soal kita mengenal pasti kaedah-kaedah yang kita gunakan, peruntukan. Saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, pemahaman saya sebagai ADUN Sri Medan pun sebenarnya silap, kalau saya boleh kongsikan dengan Yang Berhormat Datuk Speaker. Pada dulu saya ingat, saya memikirkan bahawa air yang datang daripada Sri Medan ini berpunca dari Empangan Bekok, dia akan turun ke Sri Medan, rupanya pemahaman saya salah Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih saya ucapkan kepada JPS Batu Pahat dan juga kepada JPS negeri yang memberi penerangan kepada saya bahawa air yang datang ke Sri Medan adalah berpunca daripada Hutan Simpan Endau - Rompin. Daripada Hutan Simpan Endau - Rompin dia akan turun ke Chaah, turun ke Chaah dia sampai ke Pekan Chaah, di Pekan Chaah dia akan jumpa dua (2) sungai, Sungai Lenik dan juga Sungai Chaah. Daripada Sungai Chaah, Sungai Lenik itu dia akan jumpa pada Sungai Simpang Kiri dan Sungai Simpang Kiri lah dia akan turun kepada kawasan tadahan. Apa yang saya pernah dengar daripada JPS Negeri Johor dan juga JPS Segamat kalau saya tak silap, bahawa ada satu (1) cadangan daripada JPS untuk membina satu (1) kolam takungan banjir. Jadi air yang turun daripada Hutan Endau - Rompin itu, dia akan simpan dulu di kolam takungan banjir sebelum sampai ke Pekan Chaah.
Sekarang apa yang berlaku Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap kali Pekan Chaah banjir, Sri Medan akan banjir kerana air yang turun terlalu laju, mengambil masa tak sampai dua (2) jam untuk sampai ke Pekan Sri Medan. Bila Sungai Simpang Kiri dia akan jumpa kepada kawasan tadahan banjir, dia akan sampai ke kawasan tadahan banjir yang telah kerajaan sediakan zaman Johor Barat dulu tetapi malangnya Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan tadahan air itu telah diceroboh oleh mereka-mereka yang tak bertanggungjawab. Apa yang berlaku di Raub Pahang tempoh hari sebenarnya berlaku di kawasan tempat saya. Lebih daripada 2,000 ekar diceroboh. Kawasan tadahan air yang mana kawasan tadahan air itu boleh menampung air, boleh bertahan air dan akan keluar melalui laluan air ke Sungai Simpang Kiri, jadi air itu akan disimpan kawasan tadahan tetapi masalahnya pencerobohan telah berlaku. Saya dah sebut dengan JPS Batu Pahat, kena tengok balik kawasan tadahan air, kerana apa mereka yang tak bertanggungjawab telah menanam sawit lebih daripada 2,000 ekar dekat situ. Apa yang mereka lakukan di kawasan tadahan air itu, dia akan ada ban, ban tanah dan ban tanah dipecahkan kerana air bertakung, mereka nak keluarkan air daripada situ. Sebab itulah berlaku banjir yang besar di kawasan Sri Medan.
Saya dah sebut dengan EXCO yang berkaitan, Yang Berhormat Fared terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Jafni terima kasih dan mereka mengambil maklum apa yang saya sebut pada hari ini. Kerana banjir ini kita perlu lihat bahawa ia kena bermula daripada punca, kalau kita lihat pada punca yang salah, jadi apa yang kita buat pun dia tidak akan mendatangkan
hasil. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengharapkan bahawa pihak JPS mengambil kira pandangan saya. Mengambil kira pandangan saya bukan kata pandangan saya secara peribadi tetapi setelah saya mendapat taklimat daripada JPS Batu Pahat dan juga JPS Negeri. Saya mohon pihak JPS membantu saya kerana saya tak nak dengar lagi, kita kalau boleh kita tak nak dengar lagi masalah banjir Yang Berhormat Datuk Speaker. Banjir dua minggu saya boleh terima, bila semua kena, tetapi bila banjir termenung melibatkan termenung melibatkan beberapa orang sahaja, itu lebih pedih telinga Yang Berhormat ADUN Sri Medan saya rasa. Sebab itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon jasa baik Yang Berhormat Datuk Speaker dan juga pihak JPS kalau ada, pegawai-pegawai Menteri Besar Johor kalau ada, bantulah kita. Apa yang dikeluarkan oleh MB saya setuju, tempoh hari di kawasan-kawasan pam, saya setuju, tempoh hari dia minta dalamkan pun saya setuju kerana akhirnya apa yang dilakukan itu dapat membantu mengurangkan risiko banjir termenung.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya, yang lepas saya pun kalau Yang Berhormat Datuk Speaker masih ingat, saya ada membangkitkan soal Rancangan Tebatan Banjir, saya pun ada jumpa secara peribadi dengan Yang Berhormat Datuk Speaker. Rancangan Tebatan Banjir ini projek daripada JPS Persekutuan, terima kasih. Kita ada Rancangan Tebatan Banjir Bandar Batu Pahat berjumlah hampir RM190 juta. Kita pun ada Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batu Pahat, Sungai Simpang Kiri, RM56 juta. Terima kasih banyak kepada pihak federal tapi malangnya saya dah sebut Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak maklumkan saya pun dah berjumpa dengan EXCO angkat saya, Yang Berhormat Fared dan juga Yang Berhormat Dato’ Jafni dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar itu sendiri. Apa yang berlaku dalam perancangan mereka, reka bentuk yang dicadangkan telah memberi kesan kepada banyak rumah Yang Berhormat Datuk Speaker. Bukan tempat saya sahaja. Saya tahu Yang Berhormat Datuk, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pun dah berjumpa secara peribadi dengan saya, kenapa saya? Saya bukan bantah projek tu.
Saya nak kena tekankan di sini saya bukan membantah. Tidak sama sekali saya membantah tapi saya mohon jasa baik untuk ubah design dari ban tanah kepada flood wall. Itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Kerana apa di kawasan Parit Sulong sahaja 200 lebih rumah terlibat. Lebih 50 tahun dah mereka tinggal di kawasan Pekan Parit Sulong. Apa nak jadi dengan pekan saya kalau dalam keadaan hari ini akan dikelilingi oleh ban. Akan dibina kolam, kolam tu kecil. Saya nak sedapkan hati orang kampung saya, Yang Berhormat Datuk Speaker, kolam tu kecil je kak. Kecil je. Dah lebih 50 tahun dah akak tu duduk dalam kawasan pekan Parit Sulong. Kecilnya macam mana Tok? Kecilnya macam padang bola, eh besar. Besar dia kata. Besar takkanlah kita esok nak tengok kolam tu berada di tengah-tengah pekan. Saya dah cakap adalah suara-suara sumbang daripada
orang luar ni, tak apalah Yang Berhormat, besok kan boleh buat wet world di Parit Sulong. Wet world apa, orang Parit Sulong tak perlu wet world macam tu Yang Berhormat Datuk Speaker.
Dalam banjir kalau Yang Berhormat tengok dalam TikTok ada yang terjun daripada jejantas, boleh tak de masalah pun. Tapi kalau dalam keadaan pada hari ini, pekan Parit Sulong yang makmur, pekan yang selama ini kita tak ada apa masalah dari segi pembangunan tapi dibina oleh mereka yang tidak mempunyai jiwa dengan orang-orang Pekan Parit Sulong. Saya nak jiwa. Saya sebut dengan JPS. Saya sebut dengan JPS Daerah, saya sebut dengan JPS Negeri. Perikemanusiaan. Ban tu, flood wall tu bukanlah kata kita kena tegak baru jadi dia punya reka bentuk. Tak. Kalau kata ditakdirkan esok tandas kena roboh, ditakdirkan kata ada dapur kena roboh, ya saya terima. Tak ada masalah pun. Tapi kalau kata kita boleh elak, kita elakkanlah. Itu yang kita hendak Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat tinggal satu (1) minit.
Satu (1) minit. Banyak perkara sebenarnya. Saya tadi, saya hadapi saya minta maaf Yang Berhormat Datuk Speaker, saya hadapi kesesakan lalu lintas di KM36 hingga KM26. Jadi masa bila saya berhenti dengan Yang Berhormat Kahang tu saya sempat tengok TikTok. Saya ucap tahniah kepada DUN Rengit kerana dia membeli dua (2) tan premix, tambah lagi dengan di kompak apa semua. Sebenarnya apa yang berlaku di DUN Rengit Yang Berhormat Datuk Speaker, dia berlaku di DUN saya. Berlaku di tempat saya. Tapi saya tak mampu lagi nak buat macam Yang Berhormat Datuk Speaker buat. Saya belum pernah pegang compactor, saya belum pernah pegang tapi saya cukup bangga kerana Yang Berhormat Datuk Speaker boleh lakukan lebih baik daripada orang muda seperti saya. Ha, tahniah. (Dewan bertepuk). Sebab apa Yang Berhormat Datuk Speaker, EXCO tak ada eh. Saya dah sebut Yang Berhormat Datuk Speaker, jalan-jalan kalau apa yang berlaku dekat Rengit tu sama dengan apa yang berlaku dekat Seri Medan. Baru turap, rosak, baru ditampal tak sampai seminggu, rosak. Saya dah sebut sebelum ini kalau semua rakan-rakan boleh ingat, pertama mungkin kita ada kaji semula spesifikasi kerja untuk membina jalan. Kadang-kadang tengok highway ok je, tak de masalah pun berlubang sana, berlubang sini. Mungkin daripada keadaan hari ini dengan kenderaan berat dan sebagainya mungkin dah tak sesuai. Mungkin tebal 25mm dah tak sesuai. Buatlah kajian semula. JKR boleh buat kajian.
Yang keduanya, saya dah pesan Yang Berhormat Datuk Speaker, di Seri Medan, Parit Jayus 4, yang masuk treler 40 tan manalah boleh tahan Yang Berhormat Datuk Speaker. Mana jalan tu boleh tahan. Sebab itu, jalan itu terpaksa kita kaji semula dengan spesifikasi
yang terkini, baru betul. Jadi, saya terima kasih kepada Datuk Speaker kerana menunjukkan saya teladan yang baik. Terima kasih banyak. Jadi, lepas ini saya ada satu kes di Lapis Simis ada orang kampung dia tambah sendiri, akhirnya Wakil Rakyat kena. Jadi lepas ini wakil rakyat sebenarnya kena buat sendiri sebenarnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ada sedikit lagi yang boleh saya kongsi dengan Yang Berhormat Datuk Speaker tentang perumahan. Saya terima kasih kepada Dato’ Jafni. Saya memang, saya pernah lalui Rumah Mampu Milik Johor ketika saya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Johor. Kadang-kadang kita cerita ini retorik ya. Oh, kita akan bina 70,000, kita akan bina 100,000 tapi saya nampak daripada segi penyusunan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor ini, zaman hari ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dia berbeza. Dia bukan follow up lagi, dia follow through. Maksud saya, kalau contohlah 2022 hingga 2025 kerajaan negeri mensasarkan 30,000.
Alhamdulillah, pada hari ini diumumkan 16,844 unit sampai tahun 2027, 70,000 unit. Ini yang kita nak. Bukan sekadar kita sebut, wah 100,000 untuk menyedapkan telinga. Bukan, itu yang kita tak hendak. Jadi, Alhamdulillah hari ini, cuma Sri Medan Yang Berhormat Datuk Speaker, kita tak dapat merasai nikmat rumah mampu milik Johor kerana apa, Sri Medan tak banyak projek perumahan. Ha, ni malang juga. Saya tak tahu kalau Rengit ada kan? Tapi saya nampak ada satu pakej yang baik yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Johor yang mana konsep tu sama dengan Rumah Mesra Rakyat, Rumah Prihatin Johor kerana orang Medan banyak tanah, tak ada masalah pun Yang Berhormat Datuk Speaker. Dia boleh buat. Jadi kalau ada Rumah Prihatin Johor, berilah tumpuannya kepada kawasan-kawasan kampung seperti kawasan tempat saya Seri Medan.
Yang Berhormat, Yang Berhormat dah terlebih empat (4) minit ni.
Lebih empat (4) minit eh. Saya sebenarnya banyak.
Kalau boleh, berhenti Yang Berhormat.
Tapi saya menghormati Yang Berhormat Datuk Speaker lah. Saya minta maaf kalau ada salah silap saya. Kepada rakan-rakan EXCO, sebenarnya banyak saya nak bangkitkan tapi tak pe saya akan berurusan dengan setiap EXCO lah untuk memaklumkan apa sebenarnya niat dan hati saya dalam hati kita untuk kita sama-sama kerana Medan tak nak ketinggalan. Saya dah sebut banyak kali tolong jangan tinggalkan Seri Medan. Sebutlah beratus bilion sekalipun tapi kalau Seri
Medan tak ada kesan walau pun RM1, saya rasa tak ada makna kita punya perjuangan. Minta maaf, sekian, terima kasih. Mohon sokongan.
Terima kasih Seri Medan. Saya jemput Yang Berhormat Kahang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi saya peluang untuk mengambil bahagian dalam persidangan kali ini. Pertama sekali, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini bertitah merasmikan pembukaan rasmi Persidangan Dewan Negeri Johor kali ini. Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkumi banyak aspek yang cukup menyentuh kepada asas-asas utama dan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat negeri Johor. Ampun Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana beliau menunjukkan satu kepimpinan yang cukup berwibawa, perancangan yang cukup rapi, proaktif dan turun padang. Pencapaian kita sebagai sebuah negeri dan sebuah masyarakat semakin positif dan baik. Johor berada pada landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah negeri dan masyarakat yang jauh lebih sejahtera. Pendapatan kerajaan bertambah dengan signifikan, ratusan ribu pekerjaan baru telah tercipta, perbelanjaan dilakukan dengan berhemah, terurus dan berorientasikan pencapaian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, simpanan kita juga bertambah dengan konsisten. Johor akan menjadi kuasa ekonomi utama di Malaysia. Jika kita semak pencapaian ekonomi Johor sejak tiga (3) tahun lepas, ternyata dasar dan strategi pertumbuhan ekonomi kita telah memperlihatkan petunjuk-petunjuk positif. Kita bangga Johor membangun dengan pantas, malah antara yang paling dinamik di Malaysia. Serta orientasi ekonomi Johor juga sedang berubah deras.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bumi Johor adalah sebuah bumi yang memiliki pelbagai keistimewaan yang memberikannya kelebihan atau kompetitif advantage untuk bersaing dalam banyak sektor terutamanya dari sudut pertumbuhan ekonomi. Salah satu sektor ialah sektor pertanian yang telah dikenal pasti sebagai sebuah bidang ekonomi yang strategik dari segi pertanian, penternakan, industri akuakultur negara kita amat bertuah. Tanah kita subur, iklim kita baik, selain daripada banjir, kita tidak dilanda oleh ribut taufan atau gempa bumi serta gunung berapi. Saya yakin Johor bukan sahaja dapat menjadi gedung makanan negara tetapi sebagai the prime mover of agriculture.
Yang Berhormat Datuk Speaker, generasi muda juga harus dilibatkan dalam perjuangan ini. Kerana kehadiran mereka pasti akan merangsang profil sektor pertanian kepada profil yang lebih moden, positif dan dinamik. Selaras dengan ini, usaha membangun dan menarik sumber manusia harus dipertingkatkan. Baik untuk generasi muda ataupun yang sudah berpengalaman. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari ini ramai anak-anak muda mereka berminat untuk menceburi dalam bidang pertanian. Malah nak mengambilnya sebagai satu karier mereka sebagai perniagaan mereka. Mereka mempunyai idea, berani bekerja keras tetapi satu masalah. Yang Berhormat Speaker, mana tanahnya. Kalau kita tengok, kadang-kadang anak-anak muda ini mereka pergi ke Pejabat Tanah di peringkat daerah, kecewa kerana mereka diarahkan ke Pejabat Pertanian pula. Bila pergi ke Pejabat Pertanian, soalan mereka tidak terjawab.
Saya bukan membangkitkan isu tentang syarikat-syarikat yang berpengalaman, yang mempunyai profil yang tebal, mempunyai cash back up yang besar, yang mempunyai mampu untuk mengusahakan tanah beratus ekar, saya bukan bawa isu itu. Saya membawa isu status. Mereka berminat, mereka nak berkecimpung dalam bidang ini, masalah mereka adalah mereka tidak ada tanah. Tanah yang dimohon bukan berpuluh ekar, mungkin dua (2) ekar, tiga (3) ekar ataupun maksimum lima (5) ekar sebagai permulaan. Tetapi bagaimana kerajaan negeri nak membantu mereka? aBila tidak ada tanah, bagaimana nak menggalakkan anak-anak muda terlibat dalam pertanian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya kerajaan negeri ada peruntukan untuk membangunkan kawasan tanah terbiar yang berstatus berhak milik dan tanah kerajaan. Tanah ini harus dibangunkan mengikut kesesuaian dan juga mengikut permintaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin tahu di negeri Johor pada hari ini berapakah keluasan tanah terbiar yang ada di sini dan berapakah keluasan yang telah pun dikenal pasti untuk dimajukan di bawah rancangan yang saya nyatakan tadi untuk membantu anak-anak muda yang dipanggil starters ini, dengan izin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita kena membantu mereka supaya mereka dapat menjana pendapatan. Dapat berkecimpung supaya ia menjadi sebagai karier mereka iaitu sektor pertanian. Yang Berhormat Datuk Speaker, strategi dan pendekatan kita untuk membangunkan negeri, menaik taraf hidup rakyat dan mencorak keseimbangan pembangunan dalam segenap bidang harus berasaskan kepada acuan kita yang tersendiri. Kerajaan negeri harus mengambil kira keseimbangan dan pengagihan yang saksama merangkumi seluruh daerah negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, antara isu yang menjadi sebagai perkara yang sering kali dibangkitkan ialah bebanan kos sara hidup. Ini realiti. Saya percaya mana-mana kerajaan pun tidak boleh lari dari fenomena ini. Mereka
akan menghadapi dengan cabaran kos sara hidup tetapi saya percaya kerajaan negeri sebuah kerajaan yang prihatin, mementingkan kesejahteraan rakyat dan akan memastikan limpahan ekonomi dan kemakmuran Johor benar-benar dirasai oleh rakyat negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita seperti yang saya katakan tadi, tidak boleh selesaikan isu kos sara hidup dengan memberikan wang bantuan atau wang belanja yang bersifat sepintas lalu atau one off. Tetapi ada inisiatif yang lebih mampan, bersifat inovatif, mengehakupayakan rakyat serta melibatkan kesan jangka masa panjang. Yang Berhormat Datuk Speaker, dahulu kerajaan negeri ada memperkenalkan satu (1) program yang dipanggil ImCoop, kedai koperasi ImCoop di mana ianya adalah gabungan beberapa buah koperasi yang menawarkan barangan yang lebih murah pada harga patut.
Kedai harga patut ini menawarkan kelebihan yang banyak kepada para peserta kerana kepada para ahli yang terlibat, mereka akan mendapat manfaat tambahan dengan pemberian diskaun 3% ke atas barangan yang sudah pun lebih murah berbanding dengan harga pasaran. Dan saya tengok ketika itu responnya cukup memberangsangkan. Rakyat mengalu-alukan inisiatif ImCoop ini. Saya nak tahu apa sudah jadi dengan program ini, kenapa pada hari ini kita tidak kedengaran perkataan ImCoop lagi, tidak lagi diteruskan atau pun ianya tidak menyelesaikan isu iaitu menyelesaikan kos sara hidup rakyat? Pada masa yang sama Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri juga boleh memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru untuk meringankan kos sara hidup seperti membantu pesakit dialisis. Bagi mereka yang mendapat bantuan daripada PERKESO dan Baitulmal ok, tetapi ramai di luar sana masih lagi tidak mendapat bantuan daripada mana-mana agensi dan kos dialisis merupakan satu beban yang cukup besar kepada keluarga-keluarga B40 dan juga warga emas. Jadi kerajaan negeri harus membantu pesakit dialisis ini. Begitu juga memberikan kad petrol untuk ke rawatan bulanan hospital, ramai warga B40 dan juga warga emas yang berpendapatan yang rendah dahulunya memang ada program ini memberikan kad petrol supaya digunakan untuk rawatan ke hospital secara bulanan saya rasa program ini harus diperkenalkan dan juga jumlahnya harus ditambah.
Anak-anak muda harus mendapat bantuan biasiswa khas untuk latihan kemahiran, sokongan keusahawanan kerajaan negeri mesti diteruskan dan kena pada orang yang memerlukan bantuan tersebut. Pada masa yang sama juga kelas bimbingan akademik harus diteruskan oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya anak-anak muda terus diberi bantuan kerana kos untuk tuisyen pada hari ini pun semakin meningkat. Begitu juga kos untuk bas sekolah dan sebagainya, menyebabkan ada kalangan yang tak nak ke sekolah kerana tak mampu untuk membayar kos bas sekolah dan sebagainya. Jadi inilah antara perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan dan dibantu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, permuafakatan yang saksama jelas membawa maksud bahawa setiap kelompok masyarakat mempunyai keperluan dan suara hati masing-masing yang bukan di ukur dengan kesamarataan tetapi di ukur dengan nilai keadilan yang saksama terhadap sesuatu kaum. Contohnya masalah kaum India sudah tentu berbeza dengan permintaan dan juga permasalahan kaum-kaum yang lain. Jadi, sudah pasti pendekatan yang digunakan mestilah menangani masalah-masalah tersebut dan juga mestilah khusus dan spesifik terhadap sesuatu kaum.
Yang Berhormat Datuk Speaker, masyarakat India di Johor merupakan salah satu komponen penting dalam pembinaan negara yang makmur, berbilang budaya dan bersatu padu. Namun sebahagian daripada komuniti ini masih berdepan dengan cabaran dalam aspek pendidikan, sosio ekonomi, peluang pekerjaan serta akses kepada pembangunan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya bahawa kerajaan negeri Johor harus mempunya agenda bukan sahaja untuk membantu masyarakat India, tetapi juga untuk program-program yang lebih inklusif untuk masyarakat ini. Dari segi ekonomi, penyertaan dalam bidang keusahawanan perlu digalakkan. Ramai usahawan kecil India terlibat dalam perniagaan seperti makanan, bengkel dan juga perkhidmatan kecil. Saya percaya kerajaan negeri sentiasa mahu melihat lebih ramai orang menceburi bidang keusahawanan. Jadi saya ingin cadangkan supaya satu program dipanggil Program Inkubator Usahawan Muda Masyarakat India diperkenalkan. Program Inkubator ini berfungsi menyediakan ruang-ruang niaga dan lot-lot pejabat dengan harga sewa yang rendah untuk sesuatu tempoh masa. Tidak kiralah sama ada mereka yang sedang mencari tapak perniagaan atau pernah menceburi dalam alam keusahawanan, mereka harus dibantu.
Premis Program Inkubator ini boleh di bina di atas tanah berkeluasan, tidak perlu besar Datuk Speaker, contohnya satu ekar di mana boleh menempatkan lebih kurang 40 lot niaga atau lot pejabat yang berukuran 100 kaki persegi setiap satu. Kerajaan boleh membantu di mana premis program ini boleh disediakan dengan pelbagai jenis kemudahan seperti Pegawai Khidmat Pelanggan, parkir percuma, kawasan keselamatan, kawalan keselamatan dan juga penyediaan ruang iklan dan papan tanda. Agensi kerajaan negeri harus merancang dan mengenal pasti untuk membina ruang-ruang niaga mahupun lot-lot pejabat di kawasan-kawasan yang strategik, mesra peniaga contohnya di atas tanah-tanah PBT dan tanah-tanah yang saya katakan tadi hak milik yang tidak digunakan dan contohnya dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar, di pusat bandar Johor Bahru, di kawasan Iskandar Puteri, di bandar Pasir Gudang dan sebagainya. Dan Program Inkubator ini boleh dikembang ke kawasan-kawasan lain yang bakal dipetakan dan ada permintaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari ini kita berasa begitu kagum dengan pelaburan besar mula memasuki negeri Johor khususnya di Special Economic Zone, saya percaya bahawa kontraktor, vendor, pembekal serta para usahawan dari kalangan masyarakat India juga berminat dan harus mengambil bahagian dalam kepesatan ekonomi ini. Contohnya dalam sektor pembinaan, logistik, bekalan buruh, hartanah, penjagaan kesihatan, makanan dan lain-lain. Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka harus diberi peluang untuk menyertai tender kontrak yang diberikan oleh pelabur. Saya faham kerajaan tidak boleh mengarahkan pelabur memberi kontrak terus kepada kaum India atau berdasarkan sesuatu kaum, tetapi agensi seperti Invest Johor, IRDA, BPENJ, JETCO boleh menyediakan senarai kontraktor India kepada pelabur untuk menjemput mereka semasa proses tender atau sebarang sesi peluang perniagaan. Sekiranya tidak ada arahan daripada kerajaan negeri, saya percaya tiada maklumat yang akan diberikan kepada industri rakyat kaum India ini. Jadi intervensi kerajaan negeri amatlah penting dalam hal ini.
Dengan menghubungi stakeholders ini, perkongsian maklumat mengenai pelabur yang datang ke Johor, rantaian peluang perniagaan yang terhasil serta peluang ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dirasai oleh orang tempatan termasuklah masyarakat India. Dan janganlah berlaku di mana limpahan ekonomi berlaku di bumi Johor kita, tetapi orang Johor hanya menjadi penonton saja, dan juga hanya mengetahui daripada tajuk-tajuk akhbar sosial media bahawa kontrak telah pun termeterai, pelabur sudah pun masuk dan juga mempunyai pelaburan yang besar dan sebagainya, tetapi kita hanyalah sebagai penonton.
Yang Berhormat Datuk Speaker, peluang menyertai pelaburan yang memasuki Johor, ahli perniagaaan, kontraktor, vendor, pembekal boleh terlibat dalam rantaian bekalan dan perniagaan ini. Mungkin mereka tidak dapat bersaing sebagai main con atau pembekal utama tetapi mereka boleh terlibat dalam rantaian bekalan berdasarkan kapasiti dan pengalaman mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membawa beberapa isu berkaitan dengan kawasan saya, pertama sekalilah berkaitan dengan permohonan tanah lot perumahan generasi kedua FELDA. Yang Berhormat Datuk Speaker di kawasan saya, saya mempunyai lima rancangan FELDA dan antara agenda yang paling penting ialah perumahan generasi kedua FELDA ini. Kita mempunyai task force bukan sahaja di peringkat rancangan, di peringkat DUN, malah ada juga task force di peringkat kerajaan negeri yang diketuai oleh EXCO. Saya memberi satu contoh, contohnya di FELDA Ulu Pengeli, seramai 348 pemohon. Borang Jadual 1 telah pun di hantar pada April 2023. Dua (2) tahun lepas dan juga semua isu-isu termasuklah pelan jurukur, dan juga dron telah pun dinaikkan untuk kenal pasti semua lot dan sebagainya telah pun dilakukan. Tetapi failnya masih lagi berada
di Kluang, belum lagi dibawa ke pertimbangan kerajaan negeri. Jadi saya nak tahu apa statusnya? Begitu juga di FELDA Ulu Belitung, sama juga dibawa jauh lebih awal pada Februari 2023 untuk 314 pemohon. Sehingga hari ini failnya tidak lagi masuk, masih lagi di Kluang, tidak sampai ke Kota Iskandar. Jadi bila fail ini semua akan diselesaikan?
Yang Berhormat Datuk Speaker, di FELDA ini generasi perumahan ini antara isu yang paling panas. Sekiranya esok dibubarkan Dewan Negeri, antara isu yang hangat ketika kempen ialah isu ini, dan siapa akan bertanggungjawab sedangkan kita di peringkat DUN, di peringkat rancangan, di peringkat bahagian, di peringkat Parlimen telah melakukan segala yang boleh. Kita kejar tetapi kalau failnya tidak di ambil tindakan yang sewajarnya, bila ada kelewatan siapa yang akan bertanggungjawab? Ini akan memberi impak kepada kita. Jadi saya harap kerajaan negeri, tolong tengok balik jangan nak tunggu status ke semua lima-lima rancangan nak hantar sekali. Ada ke depan, ada yang ke belakang, tapi yang sudah ke depan itu bawalah dulu. Setiap kali pergi ke PTD Kluang, statusnya masih lagi tunggu ulasan, masih lagi belum dihantar dan sebagainya. Jadi saya harap tindakan segera akan diambil untuk memastikan fail ini semua diselesaikan.
Pada bulan Januari, saya buat mesyuarat task force, panggil semua rancangan FELDA, panggil PTD duduk untuk bincang di mana kelemahan dan juga yang kita perlu selesaikan, wakil PTD tidak hadir pun. Jadi bagaimana kita nak selesaikan. Wakil-wakil kita daripada rancangan pergi ke Pejabat Tanah nak jumpa mendapat status terkini, kadang-kadang payah sekali untuk mendapat jawapan. Jadi saya harap isu ini tolong ambil serius supaya isu-isu ini diselesaikan bukan sahaja di kawasan saya, malah di semua rancangan FELDA yang ada sebab kita tahu ini isu-isu hangat, panas di FELDA.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau tadi hampir 20 minit rakan saya, jiran saya Seri Medan cerita pasal banjir, saya pun mangsa yang sama. Sudah berkali-kali setiap tahun tetamu yang kita tidak undang datang. Satu (1), sometime satu (1) kali atau pun dua (2) kali tetamu yang dipanggil banjir. Tetamu ini datang merosakkan segala yang kita buat di kawasan kita walaupun sudah berkali minta projek tebatan banjir buat kajian, cuba selesaikan tetapi sehingga hari ini tidak selesai pun isu ini. Yang Berhormat Datuk Speaker datang ke kampung contoh kawasan saya contohnya, kalau Yang Berhormat Datuk Speaker masuk ke rumah mereka, boleh tengok warna dua (2) ton di bahagian atas warna yang original, di bahagian bawah warna yang sudah pudar sudah campur dengan lumpur. Inilah keadaan mereka setiap tahun, cuba tengok perabot di rumah-rumah mereka, tidak berani nak beli lagi, bagaimana kehidupan mereka, buku-buku rosak semuanya rosak, kad dokumen hilang dan sebagainya.
Jadi kalau agensi yang berkaitan tidak mampu nak selesaikan isu banjir ini, saya nak beri satu (1) cadangan kepada kerajaan negeri supaya keseluruhan penempatan kampung contoh Kahang ini, tolong dapatkan penempatan baharu kepada mereka. Biar mereka pindah di kawasan yang tidak banjir supaya tidak perlu buka PPS setiap tahun. Satu (1) tahun sampai dua (2) kali, tiga (3) kali supaya mereka mendapat satu kehidupan yang baik dengan penempatan baru, kalau tiada tanah, kerajaan PBT la tanah tersebut. PBT bantu mereka dengan penempatan baru di kampung contoh Kahang itu, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin membawa isu tentang rumah PPRT di Taman Sri Lambak, Kahang ini. Di mana ini adalah satu taman perumahan dan banyak perkara yang berkaitan dengan kemiskinan bandar. Ramai di antara mereka yang sebenarnya sewa rumah di sana sekiranya rumah PPRT dibina di kawasan tersebut, ini akan membantu mereka di Taman Sri Lambak, Kahang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi kalau dulu sidang yang lepas saya emosional tentang isu bekalan air bersih di Kampung Orang Asli Sedoho, kali ini saya tak emosional dan senyum saja dan tanya kepada EXCO, apa statusnya Yang Berhormat? Sudah selesai ke belum? Dan biar Yang Berhormat jawab nanti, Yang Berhormat EXCO Luar Bandar. Yang Berhormat Datuk Speaker, begitu juga saya minta jasa baik Jabatan Perikanan kalau boleh meningkatkan benih-benih ikan dan udang di sungai-sungai sekitar kawasan Kahang ini supaya ini akan membantu menambah baik, menambahkan hasil pendapatan nelayan darat di kawasan saya Yang Berhormat Datuk Speaker. Ramai nelayan darat dan juga masyarakat Orang Asli mereka banyak bergantung harap kepada sektor perikanan ini untuk menjana pendapatan dan sebagainya. Jadi saya harap ini juga akan diberi perhatian yang sewajarnya, begitu juga saya ingin membawa isu berkaitan dengan pembinaan masjid baharu di Kampung Contoh Kahang, saya difahamkan bahawa projek ini akan dimulakan tapi saya minta kalau boleh disegerakan bagi menampung jemaah yang semakin ramai di kawasan tersebut. Yang mana isu ini pun, antara isu yang dah lama tertangguh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ...
Yang Berhormat.
... akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan isu gajah liar. Saya difahamkan akan ada taklimat dan sebagainya, Yang Berhormat Datuk Speaker. Di kawasan saya berkaitan isu gajah liar ini
bukan isu yang baru. Kita juga ada task force, ada jawatankuasa dan sebagainya, sering kali diadakan, emm dikatakan apa, perjumpaan dan juga taklimat, malam semalam pun ada juga kes gajah memasuki kampung dan sebagainya. Tetapi bincang dan bincang, berdialog sahaja kita tidak boleh selesaikan. Penyelesaiannya kita sudah tahu bahawa pemasangan pagar elektrik, mana bajet untuk pemasangan pagar elektrik. Kalau tak beri macam mana nak selesai. Ada agensi kata kita pasang siren, ok mana bajet nak pasang siren. Kalau nak mengharapkan pekebun-pekebun kecil memang payah. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana setiap tahun mereka mengalami kerugian. Dah lah kawasan mereka banjir lepas itu pula ancaman gajah. Mana ada pendapatan.
Jadi agensi kena bantu sebab itu kadang-kadang, bila kita ajak mereka berdialog, mereka menyampah. Tidak ada penyelesaian yang hanya ada adalah perbincangan. Jadi apabila EXCO mengajak saya, kata Menteri nak turun, saya pun risau nak pergi datang ke mesyuarat ini kerana hanya sekadar perbincangan, no point. Kita nak penyelesaian. Ini bukan isu baru, isu yang dah lama. Isu ekonomi penduduk setempat. Mereka perlu dibantu oleh kerajaan dan saya harap kerajaan akan ambil tindakan yang sewajarnya bukan hanya berjumpa dan berdialog dengan mereka. Kita nak solution. Solution dalam konteks bajet untuk diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sekali lagi mengucap terima kasih diatas ruang yang diberikan kepada saya dan akhir kata saya menyokong rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kahang. Saya jemput Yang Berhormat Bukit Kepong.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmaanirrahim. (Bacaan Doa). Alhamdulillah, pertama kali marilah kita sama-sama merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah perkenan dan kekuasaannya dapat semua kita berkumpul dalam Dewan yang mulia ini yang mencerminkan betapa demokrasi terus berkembang subur di negeri yang bertuah ini. Bukit Kepong ingin memulakan ucapan perbahasan dengan ucapan Menjunjung Setinggi-tiggi Kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor atas keberangkatan untuk bertitah dan menyempurnakan pembukaan rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Kelima Belas di Dewan yang mulia ini. Syukur Alhamdulillah, Bukit Kepong pada hari ini berpeluang menyertai perbahasan titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor sama seperti Ahli-Ahli Dewan yang lain tidak kiralah di sebelah pihak kerajaan atau pun di sebelah pihak
pengimbang. Platform untuk menyampaikan ucapan perbahasan ini akan Bukit Kepong manfaatkan sepenuhnya demi negeri dan kemashlatan rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong. Untuk itu, Bukit Kepong dengan penuh insaf memegang kukuh segala titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang menjadi pandu arah kepada Bukit Kepong dan sekalian Ahli Dewan yang berada dalam Dewan yang mulia ini.
Untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memacu pembangunan demi kestabilan negeri dan kesejahtaraan pada rakyat, keprihatinan baginda Tunku Mahkota amatlah, Bukit Kepong sanjung tinggi. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Bukit Kepong untuk memulakan perbahasan dengan menyorot sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya, riwayat Al-Bukhari”. Imam Al-Mawardir telah menjelaskan bahawa perkara berkaitan kewajipan bagi seorang pemimpin terhadap rakyatya antaranya adalah memperkasa hal ehwal agama masyarakat di tempat tersebut. Berdasarkan melihat tertentu yang dipegang olehnya atau ikut huruf kebiasaan setempat memastikan ibadah-ibadah umat Islam seperti solat Jumaat, solat hari raya dan peristiwa-peristiwa penting mengikut takwim Islam dapat dilaksanakan.
Memelihara kebajikan rumah-rumah ibadat, memastikan keamanan di setiap tempat dan negeri, memelihara harta rakyat dan menegakkan hukum Allah S.W.T. Perkara ini menunjukkan bahawa tanggungjawab utama bagi pemimpin adalah menguruskan hal ehwal rakyat dibawahnya meliputi aspek-aspek seperti keagamaan, ekonomi, kebajikan dan keselamatan. Justeru itu, ada beberapa perkara yang Bukit Kepong ingin bangkitkan berkaitan dengan kebajikan, keselamatan, kesejahteraan rakyat di Bukit Kepong. Besarlah harapan Bukit Kepong agar perkara-perkara ini mendapat prihatin dan tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor telah bertitah kekesalannya apabila mendengar dan melihat sendiri apabila masih ada pihak membuang sampah di sungai. Bukit Kepong, semua sedia maklum di tengah-tengahnya merentas Sungai Muar dan Bukit Kepong terletak di tiga (3) daerah iaitu daerah Muar, daerah Labis dan daerah Segamat. Bukit Kepong ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang memberi kesan langsung kepada kelestarian alam sekitar, kesihatan awam dan kesejahteraan komuniti setempat khususnya penduduk di sekitar sepanjang Sungai Bukit Kepong, Sungai Muar. Pemerhatian awam dan laporan yang diterima daripada masyarakat setempat pada 12 Mei 2025 menunjukkan air sungai di Sungai Meda telah bertukar menjadi kemerah-kemerahan.
Jadi Bukit Kepong ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran mengenai fenomena air berwarna kemerah-merahan. Harapan Bukit Kepong, kelestarian sepanjang Sungai Muar hendaklah dipelihara dan pemantauan secara berkala hendaklah dijalankan kerana masih ramai lagi masyarakat di dalam Bukit Kepong yang menjadi nelayan darat di mana mereka mendapatkan penghasilan daripada menjala, memancing di sepanjang Sungai Muar. Sungai bukan sekadar laluan air, ia adalah sumber kehidupan, identiti warisan dan cermin kepada sejauh mana kita sebagai pentadbir negeri ini menunaikan amanah menjaga bumi Allah ini. Sesungguhnya hubungan manusia dan alam sekitar termasuk sungai sememangnya rapat malah kedua-duanya saling memerlukan. Sekiranya satu musnah maka sengsaralah pihak yang satu lagi. Oleh yang demikian adalah amat penting untuk kita sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan di sepanjang lembangan sungai kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat juga isu banjir kilat di kawasan Bukit Kepong iaitu terutamanya di Kampung Parit Pelampung dan Parit Bengkok Kundang Ulu Tangkak. Bukanlah sekadar fenomena terpencil, kekerapan yang berlaku setiap kali ketika hujan turun sudah menjadi luka yang berulang kepada kemashalatan hidup rakyat menyebabkan, menjejaskan rutin hidup harian. Hujan yang lebat turun seketika sahaja sudah cukup untuk mengubah suasana menjadi kelam kabut dan melelahkan bagi masyarakat yang terkena banjir kilat. Bukit Kepong memohon perhatian dan kerjasama daripada semua jabatan dan agensi yang terlibat untuk mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan mengelakkan daripada terus berulang. Isu ini telah menjadi isu utama semenjak dua tahun kebelakangan ini. Ucapan terima kasih kepada pihak-pihak agensi yang sentiasa membantu Bukit Kepong untuk menangani isu ini namun sampai bila isu ini akan berulang.
Isu banjir kilat di kampung ini. Bukit Kepong juga ingin memohon agar pihak Yang Berhormat EXCO menyenaraikan kawasan-kawasan yang sering di landa banjir kilat. Langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasinya, perancangan-perancangan yang telah dirangka untuk mengelakkan berulangnya musibah ini dan berapakah peruntukan yang telah dikeluarkan untuk menangani masalah ini. Selain itu, Bukit Kepong juga ingin penjelasan mengenai status terkini projek tebatan banjir, projek bypass Sungai Muar di Kampung Sungai Olak yang telah tergendala. Apakah alasan yang telah menyebabkan projek ini tergendala dan apakah langkah dan tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek ini. Projek ini adalah sangat penting untuk kami di DUN Bukit Kepong untuk memastikan banjir tidak berulang setiap tahun terutama apabila pada musim tengkujuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi isu tempatan yang tidak kurang seriusnya adalah masalah pembuangan sampah di tepi-tepi jalan terutamanya di kawasan seperti Kampung Batu 23 dan Kampung Searak Api. Sampah dan sarap yang bertimbun bukan sahaja mencemarkan persekitaran tetapi juga berpotensi mengundang risiko kesihatan kepada penduduk setempat. Ketiadaan tempat pelupusan sampah yang sesuai, teratur dan mencukupi di kawasan berkenaan telah menyebabkan berlakunya tindakan membuang sampah di tempat yang tidak sesuai. Bukit Kepong dengan ini memohon agar Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan tempat pelupusan sampah yang sistematik dan terurus agar penduduk dapat melupuskan sampah mereka dengan cara yang betul. Walaupun isu ini telah beberapa kali dibawa namun sehingga sekarang isu ini masih tidak dapat diselesaikan.
Bukit Kepong juga ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri dalam hal berkaitan dengan sistem pencahayaan di jalan raya sepanjang antara Pekan Pagoh hingga ke FELDA Batu 27 dan Kampung Kundang Ulu ke Penchu. Laluan-laluan ini digunakan setiap hari oleh penduduk tempatan termasuklah pelajar sekolah, pekerja ladang, pemandu kenderaan berat namun begitu ketiadaan lampu jalan yang mencukupi menjadikan keadaan amat gelap pada waktu malam dan awal pagi sekaligus menimbulkan risiko keselamatan kepada jalan raya, kepada pengguna jalan raya. Sebelum ini telah terjadi kemalangan walaupun ia tidak membawa kepada kehilangan nyawa namun ia tetap mendatangkan kecederaan dan ada yang mengalami kecederaan yang parah. Oleh yang demikian, besarlah harapan Bukit Kepong agar sistem pencahayaan jalan raya ini dapat ditambah baik demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk sepanjang laluan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dewasa ini negeri Johor telah menerima banyak pelaburan-pelaburan daripada syarikat-syarikat berkaitan dengan teknologi data, kecerdasan buatan dan sebagainya. Tahniah atas komitmen Kerajaan Negeri yang terus berusaha untuk memposisikan Johor sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi selaras dengan era Revolusi Industri 4.0. Namun begitu, Bukit Kepong ingin menarik perhatian mengenai capaian internet di kawasan-kawasan luar bandar terutama di Kawasan DUN Bukit Kepong iaitu seperti di Kampung Renchong ke Kampung Paya Redan, Kampung Durian Chondong ke FELDA Sri Jaya dan FELDA Batu 27 ke Batu 23. Masih banyak mempunyai masalah rangkaian internet yang ketara. Dalam dunia yang serba digital hari ini masyarakat di luar bandar khususnya anak-anak pelajar sekolah turut memerlukan capaian internet yang stabil.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Bukit Kepong ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor di atas pelbagai inisiatif dan usaha berterusan dalam memastikan setiap asnaf dan orang memerlukan dapat menerima bantuan. Namum begitu, sukalah Bukit Kepong untuk melontarkan satu pandangan kearah menambah baik dasar jaringan keselamatan sosial di negeri ini. Dalam keadaan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini terdapat juga rumah-rumah yang tidak didiami oleh satu keluarga sahaja sebaliknya, ada juga rumah yang didiami sehingga tiga (3) atau empat (4) kelamin yang daif dan uzur dan memerlukan bantuan. Ketidakmampuan mereka untuk memiliki rumah kadang kala membuatkan mereka menumpang di rumah saudara dan menumpang teduh di rumah pusaka. Justeru itu adalah diharapkan agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor turut melihat kepada keseluruhan penghuni sesebuah rumah. Janganlah hanya tertumpu kepada satu (1) rumah satu (1) bantuan sahaja. Ini membolehkan matlamat jaringan keselamatan sosial ini dinikmati secara lebih menyeluruh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai wakil rakyat di blok pembangkang, Bukit Kepong ingin merakamkan realiti yang dihadapi di lapangan apabila berusaha menyantuni keperluan rakyat di kawasan masing-masing. Walaupun kami berperanan dalam sistem semak dan imbang, amanah kami kepada rakyat tidak pernah berkurang, namun kekangan peruntukan sering kali menjadi asbab yang menyukarkan pelaksanaan program kebajikan, penyelenggaran kecil infrastruktur kampung dan desa dan bantuan segera kepada rakyat yang memerlukan. Oleh yang demikian, Bukit Kepong memohon dengan kerajaan negeri mempertimbangkan penambahan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000.00 kepada ADUN pengimbang demi menjamin prinsip keadilan pengagihan serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir hanya kerana perbezaan politik. Peruntukan ini perlu disalurkan mengikut bajet yang telah dibentangkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Presiden Donald Trump telah memperkenalkan satu dasar tarif yang dikenali sebagai Liberation Day Tariffs pada bulan April 2025. Malaysia turut tidak terkecuali daripada menjadi sasaran dasar ini walaupun telah diberi penangguhan untuk membolehkan rundingan antara kedua negara ini berlangsung. Langkah untuk mengenakan tarif tambahan terhadap eksport Malaysia ini memberikan tekanan kepada sektor eksport utama Malaysia seperti elektronik, perabot, minyak sawit dan getah serta berupaya menjejaskan rantaian bekalan dan pelaburan asing di negeri ini. Johor juga pastinya tidak terkecuali daripada menerima kesan sementara Johor merupakan hab industri pelaburan utama negeri. Sebarang peningkatan tarif pasti meningkatkan juga kos operasi bagi pengeluaran, pengurangan daya saring produk Johor di pasaran Amerika Syarikat dan kemungkinan pengurangan pekerjaan dalam sektor yang terlibat.
Bukit Kepong amatlah berharap agar pentadbiran negeri Johor turut bersama-sama dalam apa jua slot diplomasi perdagangan yang sedang atau akan berlaku bagi perundingan pengurangan atau pengecualian tarif tersebut. Langkah-langkah yang strategik seperti mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh industi hiliran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, meningkatkan kecekapan dan daya saing pengeluar tempatan perlu diteroka untuk memastikan Johor bukan sahaja dapat menghadapi cabaran semasa tetapi terus membina ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum mengakhiri ucapan ini, Bukit Kepong sekali lagi merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi kasih ke atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor kerana berkenan untuk berangkat ke Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei 2025 yang lalu. Semoga Allah SWT melanjutkan usia, mengurniakan kekuatan, kesihatan serta terus merahmati pemerintahan Duli Yang Amat Mulia Baginda Tunku bersama seisi keluarga DiRaja Johor.
Akhir kata, Bukit Kepong mendoakan agar negeri Johor terus dilimpahi dengan keberkatan tidak sekadar membangun dengan batu bata kemajuan tetapi berdiri megah sebagai negeri termaju dan metropolis bertaraf dunia yang memayungi rakyatnya dengan kasih sayang dan sejahtera, menjadi lambang harapan dan kekuatan, disegani lawan dan dicemburui segenap pelusuk dunia sebagai negeri yang bukan hanya membina kota tetapi juga membina jiwa bangsanya. (Doa). Kepada Allah berserah, Muafakat Itu Berkat. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Bukit Kepong. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Tiram.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor, Salam Tiram Di Hati. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada Tiram untuk bersama-sama dalam perbahasan rundingan pada mesyuarat pada hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mulakan perbahasan pada petang ini pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas perkenan dan rahmat-Nya Persidangan Dewan telah sempurna dirasmikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan penuh
dengan nasihat, teguran dan pandangan yang pasti disambut baik semua Ahli Yang Berhormat dan menjadi tumpuan perbahasan pada persidangan kali ini. Tiram juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT yang buat kesekian kalinya merangkul Piala Malaysia pada April yang lalu selepas menewaskan Sri Pahang. Semoga dengan izin, Chapter 2: The 11 akan terus menggapai kejayaan demi kejayaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kali ini tema ucapan perbahasan Tiram adalah empati bukan simpati. Kali terakhir Tiram mengunakan frasa ini adalah semasa menjadi wakil kelas selepas PMR tahun 1993 dalam pertandingan debat Bahasa Melayu. Dulu selesai sahaja PMR tak boleh balik lagi sebab duduk asrama, jadi masuklah pertandingan debat selain bergotong-royong mengecat tandas sekolah. (Dewan bertepuk). Kenangan itu semua Yang Berhormat Datuk Speaker. Generasi saya pada hari ni semenjak dua menjak ini banyak mengimbas kenangan, lagi-lagi dua, tiga minggu yang lepas KRU mengadakan konsert di Kuala Lumpur. Jadi generasi saya ini sedang mengimbau kenangan zaman-zaman remaja kami pada masa dahulu. Sekarang pun masih remaja, cuma remaja purba. Kalau nak mengimbau kenangan, jemputlah mengikuti TikTok saya YB Azizul, ada satu hantaran di dalam TikTok saya penuh dengan komen-komen yang mengimbau kenangan antaranya memutar kaset menggunakan pen kilometrico dan juga menjemur bateri di tengah panas. Jadi yang faham tu fahamlah, yang tahu je tahu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pembentangan Belanjawan 2025 di dalam Teras Keenam telah dinyatakan sejumlah RM6.22 juta diperuntukkan bagi Sekolah Rintis Bangsa Johor. 10 Mei 2025 yang lalu telah menjadi detik bersejarah buat empat (4) buah sekolah iaitu SMK Tasek Utara, SMK Kota Puteri 2, SK Tasek Utara dan SK Kota Puteri 4 apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri telah hadir dalam Sesi Libat Urus Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Kerjasama pintar antara kerajaan negeri, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Apple Education dan QSR Brands juga membuahkan hasil yang luar biasa dengan 2,496 unit iPad telah diagihkan secara berfasa kepada murid dan guru, lengkap dengan akses kepada ekosistem pembelajaran Apple dan latihan khas untuk guru melalui Programme Apple Teacher. Lebih membanggakan empat (4) Sekolah Rintis Bangsa Johor ini telah berjaya diiktiraf sebagai Apple Distinguished School menjadikan Johor sebagai negeri pertama di Malaysia yang mempunyai sekolah harian bertaraf dunia berasaskan teknologi digital sepenuhnya. Suatu pencapaian yang luar biasa yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Johor.
Menjunjung Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mengilhamkan idea Sekolah Rintis Bangsa Johor ini untuk membentuk sebuah sistem pendidikan yang menyeluruh, berdaya saing dan bertaraf dunia. Duli Yang Amat Mulia juga bertitah agar kerajaan persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor ini dalam membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi. Tiram amat menyokong inisiatif ini. Bagi merancakkan lagi pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor ini, ianya wajar untuk diperluaskan lagi. Tiram merujuk kepada perlunya juga SRBJ ini kita jadikan, kita wujudkan di beberapa sekolah di luar bandar untuk turut menjadi perintis kepada pelaksanaan SRBJ. Keempat-empat sekolah yang menjadi perintis pada hari ini dilihat berada di lokaliti kawasan bandar. Yang berbeza persekitarannya dan matlamat SRBJ ini adalah untuk memberi tumpuan kepada penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris jadi dapatlah ianya dilibatkan juga pelajar-pelajar ataupun sekolah-sekalah di luar bandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Tiram juga berpandangan agar pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor ini juga boleh diperluaskan ke institusi berasaskan TVET seperti kolej vokasional. Jika kerajaan negeri mempunyai perancangan, Tiram mencadangkan agar Kolej Vokasional Pasir Gudang yang terletak di Kampung Pasir Putih dalam DUN Tiram menjadi perintis kepada institusi TVET ini. Kolej Vokasional Pasir Gudang merupakan satu-satunya Kolej Vokasional di Malaysia ini yang menawarkan Kursus Teknologi Pembuatan Bot dan Teknologi Marin. Tiram mendoakan agar pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor ini akan dapat mencapai matlamat yang diharapkan dan akan menjadi pemangkin kepada perubahan sistem pendidikan negara kita. Menjunjung Kasih Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Inisiatif Ketiga, Teras Jaringan Keselamatan Sosial Belanjawan 2025, negeri Johor telah memperuntukkan sejumlah RM6.6 juta bagi Program Jualan Kasih Johor. Alhamdulillah, tahun ini setiap DUN telah dapat melaksanakannya pada sebelum sambutan Tahun Baru Cina, ok berhenti sekejap. (Azan Asar).
Yang Berhormat Datuk Speaker, sejumlah RM6.6 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor dalam Program Jualan Kasih Johor. Alhamdulillah, tahun ini juga kita telah dapat melaksanakannya pada sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Hari Raya Aidilfitri. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dari setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Bangsa Johor cukup ternanti-nanti program ini yang ternyata dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka dalam mengurus perbelanjaan khususnya menjelang perayaan. Terima kasih kepada kerajaan negeri Johor atas usaha yang telah dilakukan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif yang baik ini wajar diperluaskan lagi. Betul kita ada pilihan, selain daripada Jualan Kasih Johor, kita juga ada Program Jualan Rahmah anjuran KPDN. Namun jika Jualan Kasih Johor ini dapat ditambah lagi jumlah penganjurannya, Tiram yakin ianya akan terus dapat memberi kelegaan kepada Bangsa Johor. Tiram mencadangkan agar penganjurannya ditambah kepada empat (4) kali selain daripada lima (5) kali penganjuran sedia ada menjadikannya sembilan (9) kali setahun. Tambahan ini boleh dilaksanakan dengan penganjuran sekali setiap tiga (3) bulan. Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker jumlah item Jualan Kasih Johor juga perlu ditambah dan diperbanyakkan lagi. BukaN apa Yang Berhormat Datuk Speaker, kadang kadang tak sampai setengah jam, ada sebahagian item dah habis barang-barang yang dijual. Mungkin Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa yang bertanggungjawab boleh menilai semula jumlah item yang dibawa setiap kali Program Jualan Kasih Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram hendak berterima kasih kepada kerajaan negeri, terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang telah mengadakan perbincangan bersama Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya untuk mencari penyelesaian isu projek jejambat Meridin East, Pasir Gudang yang terbengkalai sejak tahun 2021. Alhamdulillah, isu yang dibawa Tiram sejak Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 nampaknya akan memberi kelegaan kepada penduduk ataupun rakyat yang berulang alik ke tempat kerja. Tiram percaya penyelesaian ini hasil kesepakatan banyak pihak termasuklah Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri, Lembaga Lebuh Raya, Senai-Desaru Expressway Berhad dan Meridin East Sdn. Bhd. Satu Keputusan muktamad telah dicapai bagi memastikan jejambat ini dapat beroperasi demi keselesaan rakyat. Pembukaan jejambat ini bakal membuka akses dua hala ke Lebuh Raya Senai-Desaru sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di Pasir Gudang dan memudahkan perjalanan penduduk setempat.
Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau dilihat di tapak, masih belum nampak bayang-bayang sebarang pembinaan akan dilakukan. Ini yang menjadi persoalan kepada pengguna di kawasan tersebut. Ini kerana melalui perkongsian Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam semua platform media sosialnya telah dinyatakan jejambat ini dijangka dibuka pada penghujung tahun ini. Moga ianya dapat dilaksanakan mengikut perancangan tanpa sebarang pindaan-pindaan tarikh. Insya-Allah, Tiram pasti dengan pembukaan akses ini bakal memberikan manfaat besar kepada seluruh Bangsa Johor di kawasan tersebut dan pengguna lebuh raya yang telah lama menantikan penyelesaian ini. Terima kasih kerajaan Johor yang cukup peka dan mendengar keluhan rakyat. Alhamdulillah, selesai satu perkara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram sekali lagi hendak menghargai usaha kerajaan negeri Johor dengan isu kerosakan berulang di jalan kawasan Perindustrian Tanjung Langsat. Saban tahun isu ini menjadi sindiran warga media sosial, rosak kita buat aduan dibaiki, rosak lagi, baiki lagi, nah rosak lagi, kena sindir lagi. Begitulah putaran kisah jalan di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat. Alhamdulillah, beberapa siri turun padang telah dibuat termasuklah perbincangan yang diketuai oleh Yang Berhormat Bukit Permai di lokasi pada 10 Disember 2024 yang lalu. Bermula detik itu, satu gerak kerja secara holistik telah mula dilakukan bersama banyak pihak termasuklah dengan pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan JCorp. Pembaikan telah pun bermula sejak hujung tahun lepas oleh pemegang-pemegang taruh yang terlibat. Insya-Allah, Tiram dimaklumkan akan siap sepenuhnya tidak lama lagi. Kerosakan jalan yang berulang ini sebenarnya banyak kali menyebabkan kemalangan yang turut melibatkan kehilangan nyawa insan-insan yang berulang-alik mencari rezeki di sekitar Perindustrian Tanjung Langsat. Sekali lagi terima kasih kerajaan negeri Johor, selesai nampaknya satu perkara lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kejadian banjir seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini turut memberi kesan kepada sebahagian penduduk di DUN Tiram. Kali ini cukup ramai penduduk yang terjejas sehingga membawa kepada pembukaan enam (6) buah PPS sepanjang musim hujan tersebut. Kesan yang tak terduga pada musim kali ini adalah dua (2) batang tiang yang menyokong jambatan di Kampung Tenang, Ulu Tiram patah apabila pokok dan sampah-sampah sarap yang dibawa arus menghentam tiang-tiang tersebut. Kesannya jambatan tersebut ditutup untuk laluan kenderaan dan hanya dibuka kepada pejalan kaki dan motosikal. Bermulalah episod penduduk terpaksa meletakan kenderaan di luar dan mereka perlu berjalan kaki untuk sebarang urusan yang melibatkan warga emas, anak-anak sekolah. Hampir dua (2) bulan mereka terpaksa melalui keadaan ini. Alhamdulillah, sekali lagi atas keprihatinan Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, satu (1) peruntukan kecemasan telah diluluskan untuk pembinaan baru jambatan tersebut. Sesungguhnya rintihan dan keluhan penduduk di Kampung Tenang sentiasa didengari.
Terima kasih juga Tiram ucapkan kepada pihak Pejabat Daerah Johor Bahru dan JPS Daerah Johor Bahru yang juga menyumbang kepada penyelesaian isu ini. Tiram mengharapkan agar projek pembinaan ini dapat dimulakan dengan kadar segera dan ianya pasti akan memberi kelegaan kepada penduduk di Kampung Tenang. Sementara menantikan jambatan tersebut siap, laluan alternatif juga telah disediakan oleh pihak JPS dan Kerajaan Negeri Johor juga telah memperuntukkan sejumlah RM100,000.00 bagi membaiki laluan alternatif tersebut. Setidak-tidaknya laluan alternatif itu boleh dilalui oleh kenderaan ringan, cuma penduduk kena pusing jauh sedikit dalam tempoh menunggu
jambatan tersebut siap. Insya-Allah satu perkara lagi dalam tindakan penyelesaian. Terima kasih kepada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini dengan membawa beberapa isu yang berlaku dalam kawasan DUN Tiram. Isu pertama ini masih panas dan sentiasa panas terutamanya pada musim hujan lebat. Nak kata sejuk hujan, nampaknya tetaplah panas. Baru berlaku sekali lagi petang semalam, kira-kira selepas waktu Zohor, 18 Mei 2025. Isu banjir lumpur di Kampung Sentosa Barat yang ingin saya bawa. Masih berlaku setiap kali turunnya hujan lebat. Benar, semua agensi dah turun melihat kejadian, benar pemegang taruh telah ambil tindakan yang sepatutnya diambil. Namun, penduduk masih lagi terpaksa berdepan dengan rumah yang dimasuki air lumpur. Barangan elektrik yang tidak boleh dipakai, perabot rosak dan macam-macam hal lagi. Benarlah sudah tiba masanya bukan simpati yang perlu ada dalam diri kita ini tetapi kita perlu ada sifat empati kepada apa yang berlaku. Sehubungan dengan itu, Tiram sekali lagi mencadangkan agar satu rundingan meja bulat melibatkan semua pihak dari sebesar-besar pemegang taruh sehinggalah sekecil-kecil pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Tiram tidak mahu apabila penduduk mengadu hal ini, agensi A tolak kepada agensi B, agensi B tolak kepada agensi C, agensi C katakan ini hal agensi D dan sebagainya. Yang akhirnya penduduk yang menerima kesan yang tiada penghujungnya.
Sukacita diingatkan, saya selaku yang telah dipilih oleh rakyat di DUN Tiram, Tiram tidak akan lelah membawa isu ini atau apa jua isu untuk diselesaikan demi kesejahteraan rakyat di DUN Tiram. Pejabat Pusat Khidmat DUN Tiram sentiasa terbuka untuk pergi panggil bersama bagi kita membincangkan isu ini dalam masa terdekat. Bukan sekadar berbincang tapi turut mencari jalan penyelesaian. Kita tidak menolak pembangunan tetapi setiap pembangunan itu perlu mengambil kira kawasan sekeliling lagi-lagi yang melibatkan kampung-kampung tradisi. Kita tidak mahu pembangunan rancak tetapi penduduk yang terkena tempias yang tidak baik. Jadi, saya menyeru pihak PBT kekal tegas dalam sebarang permohonan yang melibatkan pembangunan. Ayuh kita sahut seruan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang mahukan kita semua bergerak bersama. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan, elemen kesihatan juga menjadi keutamaan di negeri Johor. Tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan kesihatan dengan memastikan hospital, klinik baharu dibina mengikut jadual, dilengkapi dengan teknologi terkini, fasiliti yang baik serta bekalan ubat-ubatan yang sentiasa mencukupi di seluruh negeri Johor. Baru-baru ini semasa menyantuni
anggota kesihatan di Klinik Kesihatan Ulu Tiram sempena penyampaian saguhati hari raya, Tiram berpeluang untuk meninjau prasarana di sana. Ada keperluan Yang Berhormat EXCO Kesihatan. Keperluan untuk menambah baik klinik demam. Klinik demam yang di sana yang memerlukan penambahbaikan dari segi infrastrukturnya. Perlu ditambah awning, dengan izin. Ini berikutan pesakit yang mahu menerima rawatan perlu beratur di bawah panas terik. Malahan bila hujan keadaan akan lebih merumitkan. Klinik demam ini diletakkan di sebelah luar, di satu sudut bangunan klinik tersebut. Tiram menjemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan untuk turun bersama meninjau keadaan di Klinik Kesihatan Ulu Tiram.
Selain itu, Tiram juga mencadangkan agar perkhidmatan shuttle bus, dengan izin, disediakan untuk mereka yang mahu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Tiram. Tempat letak kenderaan yang sedia ada terhad menyebabkan kenderaan diletakkan di luar kawasan klinik iaitu di tepi jalan besar. Laluan tersebut agak sibuk kerana berhampiran dengan jejambat Bandar Tiram yang menjadi pilihan pemandu membuat pusingan ‘U’ sama ada mahu ke Johor Bahru ataupun Kota Tinggi. Sehubungan dengan itu, Tiram mengenal pasti kawasan meletak kenderaan di Pasar Raya NSK Ulu Tiram boleh jadikan sebagai stesen mengambil dan menurunkan mereka yang ingin mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Tiram. Bas perantara yang disediakan untuk berulang alik ke Hospital Sultan Ismail di Lotus Tebrau dilihat banyak membantu menyelesaikan masalah kekurangan ruang letak kenderaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir ingin saya bangkitkan isunya adalah di dalam kawasan DUN Tiram yang lebih berfokus di kawasan Sungai Tiram. Pertama, isu kesesakan lalu lintas. Sudah tiba masanya laluan alternatif disediakan sebagai pilihan pengguna jalan raya untuk keluar dari Sungai Tiram ke pusat bandar ataupun ke Kota Tinggi. Kesesakan lalu lintas ini biasanya disebabkan kemalangan, pembaikan jalan dan pemeriksaan kawalan keselamatan oleh pihak PDRM mahupun JPJ. Bayangkan road block, dengan izin yang dilakukan oleh agensi di pekan Ulu Tiram boleh menyebabkan kesesakan sehingga ke PPR Sungai Tiram sejauh 7 kilometer. Ianya diburukkan lagi jika berlaku semasa waktu puncak hari persekolahan. Begitu juga dengan pembaikan jalan. Berulang kali diingatkan kepada pihak JKR mahupun konsesi. Pembaikan berkala perlulah dirancang sebaik-baiknya tanpa menyebabkan kesesakan melampau yang menyebabkan pengguna tersekat berjam-jam lamanya. Jangan sembrono tanpa mengambil faktor yang lain. Tiram pernah mencadangkan agar satu cadangan laluan pintasan dari bandar Tiram yang boleh dibina ke arah kawasan perindustrian Batu 14½ Sungai Tiram. Tiram juga pernah mencadangkan agar kajian arah lalu lintas di Pekan Ulu Tiram dikaji bagi membolehkan penyuraian trafik dapat dilaksanakan untuk pengguna lalu lintas yang menuju keluar ke arah Johor Bahru atau Kota Tinggi.
Dalam jawapan soalan lisan daripada Yang Berhormat Kempas pagi tadi, Yang Berhormat EXCO ada menjawab tentang elevated ART yang merangkumi Zon Tebrau. Tiram mengharapkan agar ada ADUN yang bakal menerima limpahan e-ART ini dilibatkan bersama dalam sesi libat urus supaya perancangan ini dapat dikongsi dengan masyarakat di bawah sana.
Yang Berhormat dah terlebih tiga (3) minit.
Semoga dengan adanya elevated ART ini dapat menyumbang kepada penyuraian trafik di kawasan Pekan Tiram. Yang Berhormat Speaker, sedikit sahaja lagi. Di kawasan Sungai Tiram ini juga antara isu yang berbangkit adalah isu bekalan air dan juga bekalan elektrik, senantiasa terputus baik bekalan air ataupun bekalan elektrik. Dan saya juga telah meminta pihak Ranhill SAJ untuk melihat semula paip-paip mereka yang telah uzur untuk diganti dalam masa yang lebih teratur.
Yang Berhormat Datuk Speaker, segala yang dibangkitkan ini memerlukan perhatian daripada semua pihak. Tema yang dibawa dalam ucapan kali ini bukan sekadar tema. Kita selaku agensi pelaksana perlu meletakkan sifat empati dalam diri kita. Dengan meletakkan diri kita dalam keadaan masyarakat yang dihimpit dengan isu-isu tersebut. Put ourself in their shoes then we can feel what they felt, dengan izin. Tiram juga percaya apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri Johor pada hari ini bukan lagi kerana perasaan simpati seperti bersabarlah, bertabahlah, doalah yang baik-baik tetapi kerana Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri telah meletakkan dirinya sebagai rakyat biasa yang berdepan dengan semua masalah yang ada. Terima kasih Yang Amat Berhormat dan terima kasih kerajaan negeri Johor.
Di akhirnya, tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri Johor yang telah mencatatkan FDI bernilai RM27.4 bilion tamat suku pertama 2025. Begitu juga dengan hasil kerajaan negeri yang meningkat sebanyak 30% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sebelum menamatkan ucapan perbahasan ini, minggu lepas sebenarnya ada sahaja sambutan-sambutan yang memperingati insan-insan yang banyak jasanya. Saya ucapkan Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Bomba, Selamat Hari Jururawat dan Selamat Hari Guru buat semua insan-insan ini. Kepada Ahli Yang Berhormat yang lain jumpa di Muar eh, nanti dalam Sukan Bangsa Johor. Sekian, Tiram mohon menyokong. Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Tiram. Saya akan jemput seorang lagi pembahas. Petang ni kita tak ada rehat. Saya pun Alhamdulillah daripada pagi tadi sampai petang ni saya mampu mempengerusikan sidang ya. Jadi, saya baik hati sikit hari ini. Ada yang terlebih cakap sampai lima (5) minit. Jadi, saya jemput Yang Berhormat Panti.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ampun Tunku.
Tahniah Panti ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan EXCO atas khidmat terbaik yang ditunjukkan. Begitu juga buat semua kakitangan awam yang diterajui oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor atas khidmat cemerlang selama ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas keprihatinan nasihat dan keutamaan yang diberikan untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan yang lebih baik, infrastruktur dan kemudahan yang mencukupi serta penjagaan kesihatan yang menyeluruh kepada rakyat negeri ini. Atas keutamaan inilah Johor dilihat berkembang dengan pesat dan semakin dihormati. Tahniah juga sekali lagi kepada kepimpinan negeri khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah berjaya membawa negeri ke tahap yang lebih baik. Merujuk kepada titah Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam aspek ekonomi, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku tahun pertama tahun 2025. Ini merupakan satu kejayaan bagi negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Panti percaya terdapat banyak faktor yang menyebabkan pelabur yakin untuk masuk dan melabur di negeri Johor. Pertama adalah faktor makro ekonomi yang mana antara perkara yang dilihat adalah kestabilan ekonomi, dasar kerajaan dan kestabilan politik. Dalam konteks kestabilan ekonomi, Johor mencatat pertumbuhan ekonomi yang konsisten. Contohnya pada tahun 2022, Johor mencatat nilai pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan di Malaysia iaitu sebanyak 14.6 bilion. Pada tahun 2023, pertumbuhan ekonomi berkembang sebanyak 4.1% melebihi kadar pertumbuhan nasional iaitu 3.6%. Dalam tahun 2023, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai RM17.1 bilion berbanding RM10.8 bilion pada tahun sebelumnya serta kadar pengangguran yang juga menurun sebanyak 2.6% pada 2023 daripada 3.3% pada tahun 2022. Dasar kerajaan yang baik pula memberi pemangkin kepada negeri Johor dalam usaha menarik pelaburan ini. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Iskandar Malaysia, Forest City sebagai Zon Kewangan Khas dan PIPC
Pengerang adalah antara perkara yang boleh kita sebut sebagai dasar yang baik oleh kerajaan pada hari ini untuk menarik pelaburan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, faktor kedua yang memberi keyakinan pelabur untuk melabur di negeri Johor adalah dari segi persekitaran perniagaan. Melalui pelbagai inisiatif, kerajaan negeri sejak 2022, infrastruktur pengangkutan dan kemudahan logistik telah menjadi lebih baik. Pelan induk pengangkutan Johor PIPJ 2021-2045 memastikan kesaling hubungan dan mobiliti yang efisien di seluruh negeri. Projek naik taraf lebuh raya termasuk Lebuh Raya Pasir Gudang, Lebuh Raya Senai Desaru serta Lebuh Raya Utara Selatan juga secara tidak langsung memberi impak kepada sistem perhubungan yang lebih baik. Ketersediaan tenaga kerja juga adalah antara faktor dalam persediaan perniagaan yang menyumbang kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Johor. Melalui program Johor Skill dan tumpuan kepada pembelajaran TVET, Johor mampu menjamin keperluan tenaga kerja mahir pada masa sekarang dan akan datang. Selain daripada itu, kos operasi yang kompetitif dibandingkan dengan negara jiran serta pelaburan, serta pasaran yang lebih terbuka juga menjadikan Johor sebagai tumpuan pelabur. Semua ini tidak datang tanpa usaha dan inisiatif oleh kerajaan negeri pada hari ini. Seterusnya melalui faktor ketiga iaitu perundangan dan kawal selia yang lebih mesra dan baik oleh kerajaan negeri pada hari ini menjadikan Johor pilihan pelaburan yang tinggi. Inisiatif mengurangkan birokrasi oleh kerajaan seperti Johor Super Land (JSL) mewujudkan pusat pemudah cara pelaburan Malaysia, IMFC-J, penyelarasan proses perlesenan di JS-SEZ serta pendigitilan dan automasi proses memberi impak yang sangat besar dalam menarik pelaburan seperti yang berlaku pada hari ini.
Ini juga ditambah dengan kestabilan politik yang telah ditunjukkan oleh Johor pada ketika ini. Johor telah menikmati kestabilan politik yang kukuh sejak 2022. Hasil daripada kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri tahun 2022. Dan banyak lagi faktor yang boleh Panti bahaskan serta huraikan yang sudah tentu akan mengambil banyak masa. Walau bagaimanapun apa yang hendak Panti sampaikan disini adalah bagaimana kerajaan Barisan Nasional sekarang ini adalah kerajaan yang terbaik dan berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. (Dewan bertepuk). Banyak usaha dan dasar yang baik diwujudkan seperti yang dinyatakan sebelum ini dan Panti yakin akan ada banyak lagi perkara inovatif yang akan diperkenalkan kelak bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Johor. Tidak mustahil Maju Johor 2030 akan dicapai lebih awal dari sepatutnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini juga Panti ingin mengambil kesempatan untuk mencadangkan beberapa perkara bagi memastikan segala kemajuan dan kemakmuran hasil pelaburan yang baik dalam negeri Johor ini dapat dirasai oleh seluruh negeri termasuk di bahagian utara Johor. Yang pertama, adalah untuk mewujudkan program khas pembangunan rantaian bekalan. Perkara ini akan menggalakkan penggunaan produk dan perkhidmatan dari kawasan luar sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan dalam sesuatu pelaburan. Ini meningkatkan penglibatan pengusaha luar kawasan pelaburan khususnya dari utara Johor dengan memastikan mereka terlibat secara langsung. Kedua dengan memperkasa dua (2) hub pendidikan sedia ada khususnya di Pagoh. Ini boleh dilakukan dengan menambah elemen latihan dan pendidikan teknikal TVET agar ketersediaan pekerja dan seterusnya peluang pekerjaan dapat melibatkan seluruh masyarakat dari segenap pelusuk Johor. Ianya juga boleh juga diperkasa dengan menambah serta membina hub pendidikan satelit contohnya di kawasan timur serta barat Johor. Ketiga, adalah dengan membangunkan lebih banyak hub ekonomi satelit di kawasan luar bandar termasuk utara Johor agar mempunyai hubungan langsung dengan projek serta pelaburan-pelaburan besar dalam negeri ini.
Seterusnya, cadangan keempat ialah memperkenalkan banyak lagi insentif kewangan dan perdagangan setempat sama ada secara langsung oleh kerajaan negeri atau dengan kerjasama kerajaan pusat. Ini pasti memberi manfaat hasil daripada pelbagai aktiviti yang akan berlaku termasuk kolaborasi antara syarikat besar dan pengusaha kecil dari sesuatu kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Menjunjung Kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas titah penambahbaikan kemudahan kesihatan dengan memastikan hospital, klinik baru dibina mengikut jadual dilengkapi dengan teknologi terkini, fasiliti yang baik serta bekalan ubat-ubatan yang sentiasa mencukupi di seluruh negeri Johor. Sejak dilancarkan pada 2022, Johor Bersih yang merupakan kempen menyeluruh yang bertujuan memupuk budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat telah menunjukkan kejayaan yang ketara. Program ini telah berjaya menarik penyertaan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pelajar dan penduduk setempat. Banyak aktiviti gotong-royong dilakukan di seluruh negeri Johor dan sejak mula diperkenalkan sehingga kini dalam usaha membersihkan kawasan persekitaran.
Salah satu fokus utama program ini adalah kebersihan sungai-sungai dalam negeri Johor. Program ini turut memperkenalkan kaedah rawatan air sungai yang inovatif seperti penggunaan mud ball yang dihasilkan oleh Syarikat J-Biotech sebuah anak syarikat kerajaan negeri bagi digunakan dalam aktiviti plogging di Sungai Skudai untuk membantu
memulihkan kualiti air sungai. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri memperkasa lagi inisiatif Johor Bersih ini. Dasar Johor Bersih Pintar atau Smart Clean Johor, dengan izin, boleh diperkenalkan dengan menggabungkan Internet Of Thing, IOT, data raya atau big data dan AI untuk memantau, menganalisis dan mempercepatkan respon terhadap isu kebersihan pembentungan dan pencemaran. Ini selaras dengan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku yang kesal apabila mendengar dan melihat sendiri masih ada di pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di dalam sungai dan dengan memperkasakan dasar ini, isu ini mungkin dapat ditangani dengan lebih baik. Selain itu, inisiatif yang baik dalam bidang kesihatan oleh kerajaan negeri juga wajar dipuji. Inisiatif inovatif sepeti My Ubat Pos Laju Maju Johor serta Locker For You Maju Johor memberi impak yang besar kepada isu akses ubat ubatan yang berlaku sebelum ini. Syabas Panti ucapkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesempatan ini juga Panti ingin mencadangkan beberapa perkara yang mungkin dapat mempertingkat lagi tahap serta kemudahan kesihatan di negeri ini. Pertama, adalah dengan mewujudkan rangkaian kerjasama awam swasta di negeri Johor bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kepakaran. Ini jika dilaksanakan dapat mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan rawatan khususnya bagi pesakit kronik yang merbahaya. Sebagai contoh, antara inisiatif yang boleh diperkenalkan adalah program subsidi rawatan pakar di hospital swasta untuk pesakit B40. Kedua adalah dengan membangunkan satu (1) hab perubatan khusus seperti dengan mewujudkan hub perubatan dengan hospital pakar dalam rawatan jantung, kanser dan perubatan geriatrik itu rawatan yang memberi fokus pada kesihatan dan penjagaan bagi golongan berumur. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada hospital besar lain khususnya di Kuala Lumpur. Ini juga secara langsung akan memperkasakan lagi sektor pelancongan sektor pelancongan kesihatan yang mana mempunyai potensi yang sangat besar pada negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan pada kali ini, Panti juga ingin membangkitkan beberapa perkara dalam kawasan Panti. Perkara pertama adalah berkaitan tapak pelupusan sampah Batu Empat. Isu yang timbul bukan sekadar keperluan pengurusan sisa pepejal tetapi lebih besar tentang pencemaran bau kronik yang memberi kesan terhadap kualiti hidup penduduk. Panti mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan negeri dalam mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan DUN yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat EXCO. Platform yang diwujudkan ini banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang sedang berlaku di Panti dalam isu tapak pelupusan sampah ini. Ada beberapa usaha sedang dijalankan dalam kita mendesak isu ini diambil peduli oleh kerajaan pusat. Namun pada hari ini, selain dari banyak perkara yang Panti desak berkaitan tapak pelupusan sampah Batu Empat, Panti mencadangkan satu perkara yang mungkin yang boleh jadi pertimbangan kerajaan
khususnya kerajaan pusat dalam menyelesakan isu ini. Panti yakin kerajaan negeri akan sentiasa membantu jika ada inisiatif baik oleh kerajaan pusat untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya di Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu hub pembinaan sisa, waste transfer station dengan izin perlu dan boleh diwujudkan. Dia mestilah jauh, mestilah jauh dari kawasan penempatan dan boleh digerakkan melalui kerjasama kerajaan dan swasta. Fungsi hub adalah menjadi tempat sisa dari pelbagai daerah di hantar sebelum ke loji pelupusan berteknologi tinggi. Proses pengumpulan pemadatan sisa penyusunan dan pemprosesan awal serta pemindahan sisa dapat dilakukan dengan lebih baik dan lebih efisien. Banyak negara seperti Singapura contohnya Tuas South Transfer Station. Di Jepun, Tokyo Shinawaga Waste Transfer Station dan United Kingdom, Edmund Turn Eco Park telah melaksanakan perkara ini dan menyumbang banyak dalam menyelesaikan isu pelupusan sisa pepejal ini. Selain itu, teknologi pelupusan sisa pepejal yang memberi tumpuan pada pengurangan jumlah sisa pepejal di buang, penjanaan kuasa dan penggunaan semula sisa yag bernilai perlu diguna pakai bukan seperti sistem yang dibuat di tapak pelulusan sampah Batu Empat. Sampah dilonggok dan ditimbus sehingga menjadi bukit yang tinggi.
Panti ambil contoh di Singapura, teknologi pembakaran sisa untuk tenaga, waste to energy dengan izin, digunapakai yang mana ianya membakar sisa bukan organik untuk menghasilkan elektrik dan haba. Ini dapat mengurangkan sisa pepejal sehingga 90% dan menghasilkan tenaga elektrik dan mengurangkan penggunaan tapak pelupusan sampah. Banyak lagi teknologi yang wajar dicontohi seperti teknologi gasifikasi yang banyak digunakan di Jepun dan Amerika Syarikat. Teknologi composting berpusat yang banyak digunakan di Kanada dan Perancis, teknologi RDF, Refuse Derived Fuel dengan izin yang banyak digunakan di Jerman dan Australia serta banyak lagi teknologi yang boleh dicontohi dari negara-negara maju yang lain. Perkara kedua ialah berkaitan isu yang tidak asing lagi iaitu konflik manusia gajah. Isu yang sama dibangkitkan oleh YB Kahang sebentar tadi dan saya menyokong apa yang beliau katakan. Panti mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke atas keprihatinan beliau dalam membantu untuk menyelesaikan isu ini. Ini dapat dilihat dalam kunjungan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Santuari Gajah di Panti pada 15 Mac yang lalu.
Banyak perkara yang telah Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah bangkitkan tentang isu ini dan Panti berharap agensi terlibat dapat memastikan perkara yang dibincangkan dapat dilaksanakan dengan segera. Cuma mungkin dalam kesempatan perbahasan Dewan pada hari ini, Panti ingin mencadangkan satu lagi kaedah bagi membantu menyelesaikan konflik manusia gajah khususnya yang berlaku di kawasan perkampungan dan penempatan
penduduk. Secara ringkasnya, Panti ingin mencadangkan agar dilihat kaedah bee fencing, dengan izin iaitu pagar lebah iaitu pemasangan pagar yang dilengkapi dengan sarang lebah pada jarak tertentu. Apabila gajah menyentuh pagar, lebah akan keluar dan menyerang gajah. Gajah amat sensitif terhadap sengatan lebah terutamanya di kawasan lembut seperti belalai dan sekitar mata. Ini akan menyebabkan gajah berundur. Gajah yang sememangnya dia sejenis haiwan yang mempunyai ingatan yang kuat tidak akan melalui kawasan tersebut pada masa akan datang. Insya-Allah. Selain daripada manfaat menjauhkan gajah dari Kawasan perkampungan, ternakan lebah dalam sistem bee fencing ini sudah tentu dapat memberi pulangan kepada penduduk menerusi penghasilan madu lebah itu sendiri. Selain itu, sudah tentu adanya keuntungan apabila tiadanya kerosakan tanaman serta infrastruktur disebabkan oleh gajah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kaedah ini telah menghasilkan kejayaan dibanyak negara seperti di Taman Negara Savour, di Kenya di gunapakai oleh petani di Tanzania serta di Assam di India yang berhasil mengurangkan konflik manusia gajah sehingga 60%. Panti bersedia menjadi tempat sebagai projek perintis bagi kaedah ini jika mendapat perjatian kerajaan negeri dan pusat dalam kita berusaha bersama menangani isu ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu ketiga yang ingin Panti bawa pada hari ini ialah tentang isu pembentungan, pembentungan di Bandar Tenggara. Isu ini telah menjadi perhatian utama penduduk tempatan sejak sekian lama. Masalah seperti bau busuk. Sistem pembentungan tersumbat dan penyelengaraan yang tidak memuaskan telah menimbulkan ketidak selesaan dalam kalangan komuniti. Antara punca isu ini adalah sistem pembentungan lama dan usang. Tiada satu sistem penyelengaraan yang efisien dan pertambahan penduduk yang ketara hasil gabungan lima (5) taman perumahan dengan hampir 20,000 penduduk berbanding asalnya. Waktu pembentangan ini dibuat berpuluh tahun lalu. Panti faham sememangnya ada usaha bagi menggantikan pembentungan usang ini namun isunya sekarang bagaimana kita dapat membantu penduduk berhadapan perkara ini sementara menunggu proses penggantian ini berlaku yang sememangnya akan mengambil masa. Oleh itu, disini Panti ingin mencadangkan iaitu langkah seperti dibawah diambil dengan segera.
Yang pertama, dengan negeri memperuntukkan sedikit bantuan kewangan agar pihak Majlis Daerah Kota Tinggi dapat menjalankan kerja-kerja pembaikan sementara dengan lebih efisien. Kekangan kewangan sememangnya antara isu yang membelenggu bagi pihak Majlis membuat pembaikan dan penyelenggaraan. Dengan suntikan kewangan mungkin pihak Majlis dapat membuat perolehan bagi jentera dan pam penyedut yang lebih baik berbanding sekarang. Kedua dengan mewujudkan kerjasama rapat antara penduduk dengan Pihak
Berkuasa Tempatan. Ini membolehkan sebarang aduan dapat dibuat dengan cepat dan yang paling penting, tindakan juga boleh dilakukan dengan segera. Sudah tentu Yang Berhormat Datuk Speaker faham. Kalau rumah sudah dipenuhi air kumbahan, bagaimana ianya sangat perlu segera di pulihkan bagi keluarga duduk dan tidur dengan tenang. Sekurang-kurangnya dengan tindakan jangka pendek ini kita dapat berhadapan dengan isu ini sementara proses penambahbaikan dan penggantian pembentungan ini dapat dilakukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Panti mengakhiri perbahasan Panti berdoa agar kerajaan Barisan Nasional Johor yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan dibantu oleh barisan EXCO pada hari ini serta kepimpinan penjawat awam akan terus kekal cemerlang. Semoga segala usaha baik kita untuk agama bangsa dan negeri Johor yang bermula di Dewan yang mulia ini mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Insya-Allah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh. Panti mohon menyokong. (Dewan bertepuk)
Terima kasih Yang Berhormat Panti. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya sehingga esok 20 Mei 2025 jam 9.30 pagi. Teima kasih.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 19 Mei 2025
VERBATIM