Johor · 20 May 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 112 turns · 34,558 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai Wakil Rakyat saya ingin berkongsi, sebaik-baiknya kita pasti ada hal yang tidak disukai orang lain. Itulah mengapa kita mesti belajar menerima dan tidak memaksa untuk diterima. Hari ini kita disukai, mungkin esok kita dibenci. Pujian boleh berubah menjadi cacian, dunia ini berputar dan hati manusia juga mudah berubah. Maka, tidak perlu diberharap terlalu tinggi kepada pujian, adakalanya prestasi bukan ukuran kerana dunia politik juga tidak boleh lari daripada lakonan. Kesimpulannya, buat kerja dan jalan terus Yang Berhormat. Bagi saya sebagai orang Islam, saya mendefinisikan satisfaction of job, dengan izin, sebagai mendapat keredhaan Allah. Sebab itu politik saya mudah, gunakan hati nurani dan tidak ada kamus politik dukalara. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput untuk soalan dikemukakan, saya ingin mengalu-alukan kehadiran 23 orang pemerhati daripada Pejabat Menteri Besar Johor yang terdiri daripada Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Invest Johor, Invest Malaysia Facilitation Centre, MIDA Johor, MITI Johor dan Johor Talent Development (JTDC). Dan, 19 orang pemerhati daripada Yang Berhormat, daripada Pejabat Yang Berhormat Pengerusi Belia dan Sukan, Pembangunan dan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Ada? 24 orang pemerhati daripada Pejabat DUN Kawasan Gambir yang terdiri daripada Ketua-Ketua Kampung dan 34 orang daripada Pejabat DUN Kawasan Johor Jaya. Selamat datang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Yang Berhormat Sri Medan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Sri Medan nombor satu (1).
Jumlah pelaburan di negeri Johor adalah yang tertinggi di Malaysia. Apakah kesan positif yang dinikmati oleh rakyat Negeri Johor keseluruhannya?
Dijemput Yang Berhormat Benut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor dua (2).
Minta dinyatakan apakah bentuk limpahan ekonomi kepada daerah-daerah di luar kawasan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ).
Dijemput Yang Berhormat Bekok.
Selamat pagi, salam sejahtera Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bekok nombor tiga (3).
Projek JS-SEZ dilihat lebih tertumpu di kawasan Sedenak, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Senai, JB City, Pasir Gudang, Desaru dan Pengerang. Apakah perancangan atau peluang untuk kawasan di Utara Johor seperti Bekok untuk menikmati JS-SEZ?
Dijemput Yang Berhormat Johor Lama.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat, soalan saya nombor empat (4).
Dalam sektor manakah Kota Tinggi dijangka menerima manfaat terbesar hasil daripada JS-SEZ?
Dan, dijemput Yang Berhormat Sedili.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor lima (5).
Peningkatan tumpuan pembangunan di kawasan JS-SEZ berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi dengan daerah lain, apakah langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan limpahan manfaat JS-SEZ untuk dinikmati daerah-daerah luar zon tersebut, dan bukan tertumpu di daerah Johor Bahru?
Sila.
Bismillahirrahmaanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum menjawab soalan, saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei, minggu lepas. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Sri Medan, Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Bekok, Yang Berhormat Johor Lama dan juga Sedili di atas soalan-soalan tentang JS-SEZ (Johor-Singapore Special Economic Zone). Apa perkembangannya dan apakah limpahannya kepada kawasan JS-SEZ dan juga kawasan-kawasan di luar JS-SEZ? Itu soalan yang diajukan kepada saya.
Dan, sedikit latar belakang, saya ambil kesempatan untuk mengingatkan kita kembali tentang titah Pemangku Sultan Johor, di mana hasil JS-SEZ, FDI, Foreign Direct Investment Negeri Johor pada suku pertama tahun ini Yang Berhormat Datuk Speaker berjumlah RM27.4 bilion. (Dewan bertepuk). Dan, kalau dibandingkan suku tahun lepas FDI negeri
Johor berjumlah RM4.1 bilion perbezaan yang cukup ketara RM23 bilion perbezaannya. Jadi, kita dah mula nampak hasil, hasil usaha semua, FDI negeri sudah mula meningkat. Malah, laporan yang saya terima daripada YB Lee dan juga MITI untuk bulan April sahaja jumlah FDI nya akan mencecah RM23 bilion. Maksudnya Insya-Allah kalau ini trajectory nya Yang Berhormat Datuk Speaker, by end of this year, akhir tahun ini kita akan mencapai jumlah FDI dalam RM60 bilion. Itu sasaran kita.
Dari segi kesan langsung juga dapat dirasai di enam (6) PBT yang terlibat. Kalau nak dibezakan hasil PBT tahun lepas dengan tahun ini suku pertama, contohnya di MBJB sahaja ada peningkatan sebanyak 25%. Kalau di peringkat MBIP ada peningkatan hasil sebanyak 9%. Ini dari segi cukai harta dan juga fi yang kita dapat hasil. Dari segi hasil negeri seperti kita semua sedia maklum, tahun lepas syukur Alhamdulillah kita telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM2.1 bilion, hasil yang tertinggi yang pernah kita rekodkan di Johor Darul Takzim.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa sama kita lihat bahawa JS-SEZ ini bukan hanya menjadi sebutan di peringkat negara, ataupun di peringkat Singapura. Delegasi Johor bergegas ke negara-negara lain kerana ramai pelabur-pelabur daripada seluruh dunia mahukan maklumat perkembangan tentang JS-SEZ. Team Johor telah pergi ke China, ke Korea, ke Jepun, UAE dan Qatar dalam masa 12 bulan. Kita juga pada bulan April, Yang Berhormat Datuk Speaker tahun ini, telah mendapat sambutan yang cukup hangat dalam satu joint business forum di Persada Johor. Ia adalah hasil usaha kerajaan Singapura, Malaysia dan Johor di mana kita telah menarik minat lebih 1,000 syarikat-syarikat yang mahu mendapatkan maklumat dan Insya-Allah seterusnya terus melabur di negeri Johor. Antaranya pipe gas, insulated, ferulate, color cones, nitrone dan banyak lagi.
Semalam juga team kita telah ke Kuala Lumpur berjumpa dengan YB Rafizi Ramli, Kementerian Ekonomi, berjumpa dengan bank, enam (6) bank yang ingin berkolaborasi dengan kita. Antaranya Maybank, CIMB, Bank of America, HSBC, CGS International dan juga Sumitomo Bank.
Bila jumpa Menteri Ekonomi tu ada bincang lain tak Yang Berhormat?
Apa dia?
Bila jumpa Rafizi tu ada bincang lain juga ke?
Bincang lain?
Ha, ada bincang-bincang lain juga ke?
Bincang-bincang lain ni biasanya kita tengok dalam TikTok je Yang Berhormat Datuk Speaker. Banyak maklumat kat situ. Dia orang PKR, kat sini. Minggu ni minggu besar untuk dia orang ni. Semua berkumpul kat Johor eh YB. All the best. Awak bertanding ke YB? Yang Berhormat Datuk Speaker dah interject, saya dah lupa saya kat mana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, forum-forum ini kita tak habis di situ kerana ada banyak lagi permintaan. Insya-Allah kita akan ada juga perbincangan dan juga forum bersama
bakal-bakal pelabur yang berminat di Singapura tak lama lagi. Dan, pada bulan Jun, 18 hingga 19 Jun, kita akan adakan Decay Forum. Decay Forum yang biasanya diadakan di Jepun pada tahun ini akan dilaksanakan di negeri Johor. Di mana hampir 500 syarikat terbesar Asia akan berkumpul di Johor Darul Takzim. Jadi, memang ada ways of enquiries, ways of minat untuk melabur di Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sedikit perkembangan antara perkara yang menyebabkan semua ini dapat dilaksanakan dengan tertib, baik dan teratur ialah kerana hasil kerjasama kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Kita telah mewujudkan IMFC-J, Invest Malaysia Facilitation Centre - Johor. Satu-satunya facilitation center yang wujud selain daripada Kuala Lumpur. Dalam negara ada dua tempat je, Kuala Lumpur dan juga Johor. Jadi, kita wujudkan IMFC-J untuk mengurangkan birokrasi, untuk mengurangkan red tape. Kita nak pastikan ease of doing business Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan kita alhamdulillah telah mewujudkan satu super fast lane, di mana dari segi documentation yang biasa ambil 2, 3 tahun, kita dapat selesaikan hanya dalam masa sebulan. Perkara ini akan kita teruskan, supaya pelabur-pelabur dapat kita tarik ke negeri Johor, insya-Allah. Dan IMFC-J ini Yang Berhormat Datuk Speaker yang mengetuainya ialah IRDA. So, sebab itu saya jemput rakan-rakan daripada IRDA untuk hadir, tetapi MITI dan juga Invest Johor pun juga terlibat untuk menjayakan IMFC-J.
Selain itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kita juga tahu bahawa ease of doing business tidak mencukupi. Kita selalu mendapat maklum balas bahawa tenaga kerja kita, our talent mesti dapat menguasai ilmu dan juga technical skills supaya dapat bekerja di kilang-kilang di syarikat-syarikat yang datang ke negeri Johor. Sebab itu kita mewujudkan Johor Talent Development Council. Sekali lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, ia juga adalah hasil kolaborasi agensi-agensi, kementerian-kementerian di peringkat persekutuan dengan juga agensi-agensi di peringkat negeri. Ini kekuatan kita. Ia melibatkan lapan (8) IPTA, lebih 15 TVET Institution, dan kita melibatkan GLC-GLC negeri termasuk JCorp dan juga SMI. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada kesempatan ini saya perlu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan, kepada semua yang telah terlibat untuk menjayakan agenda JS-SEZ setakat ini. Terutamanya patik menjunjung setinggi-tinggi terima kasih, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong atas segala nasihat dan bimbingan yang diberikan. Tidak lupa juga patik menjunjung setinggi-tinggi kasih, kepada Duli Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang juga sentiasa memberi nasihat, dorongan dan menjadi inspirasi untuk kita untuk terus menjayakan agenda JS-SEZ ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya kongsikan, JS-SEZ juga melibatkan pelbagaikan kementerian dan juga agensi. Jadi di peringkat nasional, terutamanya saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Jabatan-Jabatan dan semua agensi-agensi yang membantu menjayakan agenda JS-SEZ ini. Di peringkat negeri Yang Berhormat Datuk Speaker, sudah tentu ramai yang berada di dalam Dewan ini, yang membantu kami untuk menjayakan agenda JS-SEZ. Sudah semestinya antara tokoh paling utama bagi saya ialah Yang Berhormat Benut, Dato’ Seri Haji Hasni bin Mohamad, thank you Sir. (Dewan bertepuk). Barisan EXCO, tak lupa juga pada Tan Sri SS, tak lupa juga kepada agensi-agensi yang kita jemput khas, daripada IRDA tolong bangun, daripada MIDA, daripada Invest Johor, daripada JDTC. Tuan-tuan dan puan-puan kita berikan tepukan yang gemuruh juga kepada mereka. (Dewan bertepuk). Dato’
Azam tak bangun? Dan juga BPEN, BPEN ada? PBT-PBT dan juga Pejabat Tanah. Semua memainkan peranan untuk menjayakan agenda JS-SEZ. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga sedar dan insaf bahawa mungkin tak semua yang tahu perincian JS-SEZ. Dan sebab itu saya mengambil sedikit masa untuk berkongsi sedikit mana kawasan-kawasan JS-SEZ yang kita maksudkan. Ia melibatkan tiga (3) daerah, iaitu daerah Pontian, Johor Bahru dan juga Kota Tinggi. Melibatkan enam (6) PBT seperti yang saya kongsikan tadi, dan melibatkan sembilan (9) flagship areas. Dan dalam kawasan-kawasan ini insentif-insentif physical dan juga non-physical ditawarkan kepada syarikat-syarikat yang ingin melabur di kawasan. Kalau nak tahu apa insentif secara terperinci boleh lawat IMFC-J, bangunan dia, office dia tersergam indah dekat Forest City. Boleh buat appointment dengan YB Lee Ting Han. YB boleh ya? YB Lee Ting Han ni dia banyak masa. Mana-mana saya pergi cakap dia, the most eligible bachelor in Johor. Sebab tu dia banyak masa.
Oh bujang lagi. Hmm.
Apa dia?
Masih bujang lagi?
Masih bujang. Siapa yang nak minat boleh jumpa saya. Johor Jaya macam jeling kat saya je. Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Johor juga dalam proses untuk menjayakan JS-SEZ ini melalui master plannya. By end of this year, akhir tahun ini kita akan master plan hasil kerjasama Kementerian Ekonomi dan juga kerajaan negeri. Dan pada masa sama kita sedang juga buat JETP, Johor Economic Transformation Plan. Dan baru-baru ini kita juga cadang supaya kawasan JS-SEZ akan menjadi regulartory sandbox untuk negara khususnya dari segi sokongan pengecualian peraturan-peraturan sementara secara bersasar. Kita telah juga mencadangkan supaya kawasan JS-SEZ ini ada Taman Perindustrian ASEAN, ataupun RCEP 10 campur 5 negara, regional comprehensive economy partnership. Ini semua sedang diperhalusi. Yang Berhormat Datuk Speaker, dari segi objektif JS-SEZ. Bila dimeterai perjanjian antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura, antara dua (2) perkara yang ditekankan, ialah kita akan merekodkan 50 projek bernilai tinggi dan 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam masa lima (5) tahun. Itu KPI kita. Dan dari segi agenda Maju Johor ia pun selari kerana by the year 2030 Yang Berhormat Datuk Speaker, kita mensasarkan Johor GDPnya mencecah RM260 bilion pertumbuhan sebanyak 7 hingga 8% sifar miskin tegar dan juga average medium income of RM10,500.00. Yang Berhormat Datuk Speaker, ramai yang bertanya kepada saya, pelabur-pelabur ni yang masuk, siapa yang untung? Adakah Singapura yang untung? Adakah Johor yang untung? Adakah syarikat-syarikat melabur sahaja yang untung? Yang Berhormat Datuk Speaker saya nak tekankan di dalam Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor bersetuju untuk buat JS-SEZ ini kerana ia akan membawa limpahan kepada rakyat dan juga bangsanya. That is the only reasons. The main objective kita, ya semua akan mendapat limpahan tapi dalam hati kita, we are doing it, kita laksanakan untuk rakyat dan Bangsa Johor. Dan kalau kita tengok, ini antara anak-anak muda kita yang mendapat peluang-peluang pekerjaan. Dan anak-anak muda ini Yang Berhormat Datuk Speaker, bukan daripada JB sahaja.
Contohnya, saudara Zikri yang bekerja di Fatotax berasal daripada Mersing. Saudara Hasbullah dan juga saudara Aiman yang bekerja di Paris Baguette berasal daripada Kota Tinggi dan juga Pontian. Saudari Alia yang bekerja di Winwin berasal daripada Segamat Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan ini melibatkan ribuan anak-anak muda yang mendapat peluang pekerjaan. Tak payah pergi ke Singapura lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Insya-Allah, di Johor ini akan ada lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda negeri Johor. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, pelbagai manfaat juga yang diterima dan juga yang sedang diusahakan oleh kerajaan di peringkat persekutuan dan juga negeri. Antara yang saya boleh laporkan ialah tentang CIQ, BSI dan KSAB. CIQ, BSI dan KSAB ini Yang Berhormat Datuk Speaker, ramai yang tahu saya suka buat sportcheck. Dan saya rasa dah hampir 100 kali saya turun seawal subuh Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk memastikan keadaan di kedua-dua CIQ ini berjalan dengan baik dan teratur. Dan syukur alhamdulilah, berkat bantuan semua Yang Berhormat Datuk Speaker, kita dah lihat pelbagai perkembangan. Dah ada mula pertambahan auto gate. Kita buat contra lane, tambah staf Imigresen, kita tambah kaunter Imigresen, kita buat QR Code untuk penumpang-penumpang bas. Insya-Allah, lepas ini akan ada QR Code lagi untuk motosikal dan juga kereta. Semua ini akan bakal mengubah lanskap untuk orang keluar masuk ke Johor melalui Singapura. Dan saya ada satu cerita nak berkongsi dengan Yang Berhormat Datuk Speaker. Ini gambar Yang Berhormat Datuk Speaker, secara lazimnya, Dato’ Hasni dan saya akan balik kawasan setiap bulan dan pada bulan Ramadan baru-baru ini, kita bulan puasa lawat pasar Ramadan. Saya tengah promote Pasar Ramadan Simpang Renggam Ahli-Ahli Yang Berhormat. Masa tengah menyantuni masyarakat, tiba-tiba kami ditepuknya bahu, dia kata Dato’-Dato’, saya daripada Singapura. Saya kata, eh! Jauh datang? Ha itulah Dato’, saya nak ucap terima kasih sebab bila kerajaan mudahkan kami keluar masuk, kami datang untuk berbelanja di sini. Apa yang saya nak tekankan di sini Yang Berhormat Datuk Speaker, yalah bila kita memudahkan urusan orang, insya-Allah, Allah juga akan memudahkan urusan kita. Masa kita mula betulkan keadaan di CIQ BSI dan KSAB dalam hati dan kepala saya, saya risaukan 300,000 rakyat Malaysia Bangsa Johor yang berulang-alik setiap hari. Terpaksa bangun 3:30 pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk masuk kerja pukul 8.00 pagi, balik malam, sampai rumah tengah malam. Bila dia nak rehat? Bila dia nak berjumpa dengan keluarga? Mana quality of life nya? Itu niat kita, tetapi bila kita dah mudahkan urusan itu, rupanya ia juga memudahkan rakyat Singapura untuk masuk ke negeri Johor dan mereka tidak datang hanya ke JB Yang Berhormat Datuk Speaker. Bayangkan daripada CIQ itu nak datang ke Simpang Renggam Dato’ Hasni, it takes about 45 minutes. Sanggup Speaker, punyalah sedap Bazar Ramadan Simpang Renggam Yang Berhormat Datuk Speaker. Tahun depan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya belanja, Datuk datang rasakan sendiri makanan dekat Simpang Renggam, memang sedap-sedap belaka.
Insya-Allah, saya datang sebab dekat.
Dekat dengan?
Dekat dengan Rengit, Batu Pahat.
Baik-baik. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya dengan sepenuh hati, bahawa ini baru satu permulaan. The best is yet to come. Kenapa saya cakap begitu? Kerana ada banyak lagi perkara-perkara yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan
negeri dan juga kerajaan persekutuan. Antaranya, pelebaran highway Utara - Selatan, SDE Senai - Desaru. Dia punya pengerusi LLM ada dekat sini, Dato’ Hasni. Bila siap Dato’?
2027.
Kalau kita daripada Tangkak, daripada kawasan-kawasan di utara dah boleh melihat bahawa kerja-kerja pelebaran highway daripada empat hingga enam lane sudah mula dilaksanakan, betul atau pun tidak? Memang sedang berjalan Yang Berhormat Datuk Speaker. Tidak cukup dengan itu, RTS bakal siap tahun depan, Disember tahun depan. Elevated ART Project pun, RFQ YB Fazli, RSP ke RSQ? RSP sedang dilaksanakan dan insya-Allah akan dibawa ke Kabinet pada bulan lapan (8) tahun ini.
ETS Double Track yang akan menghubungkan JB ke KL, JB ke Segamat juga bakal siap tahun ini. Jadi lepas ini Yang Berhormat Datuk Speaker, orang daripada Singapura itu dia tak datang ke JB sahaja, tak pergi ke Pasar Ramadan Simpang Renggam sahaja, dia boleh pergi ke Segamat dan hanya mengambil masa 1 jam 35 minit, Yang Berhormat Datuk Speaker. Tidak cukup dengan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai juga insya-Allah akan dinaik taraf. Saya dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, bahawa mereka akan memperuntukkan RM2 bilion untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kita sudah mula berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan daripada China dan juga Qatar untuk mereka beroperasi di sini, insya-Allah.
Tidak cukup dengan itu Yang Berhormat Datuk Speaker, kita lihat juga kepada manfaat, banyak usaha-usaha sudah dan sedang dilaksanakan. Contohnya, naik taraf Hospital Pasir Gudang, kita akan dapat juga peruntukan untuk HSA II, dari segi RFP pun sudah dibuat, YB Ah Soon dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat. Selain itu daripada hasil yang kita dapat, lebih banyak rumah-rumah mampu milik akan dibina dan sudah dibina. Tidak cukup dengan itu, kita nak naik taraf semua PBT-PBT kita menjadi smart cities Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk pengetahuan semua, dari segi level smart city ini ada empat (4), satu (1) paling rendah, empat (4) paling tinggi. Dekat Malaysia ada dua (2) sahaja yang tertinggi, nombor dua (2), dia punya tier dua (2) hanya ada dua (2) PBT dalam negara. Pertamanya, Putrajaya, keduanya, PBT MBJB. Kita nak pastikan setiap tahun Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap PBT di negeri Johor ini meningkat satu (1) tier. Dia memang ada banyak check list tetapi sedang kita laksanakan. Melalui hasil negeri yang lebih juga melalui PBT-PBT, hotspot-hotspot banjir juga sedang kita pastikan dapat dikurangkan terutamanya di kawasan JB. Antaranya, 82 projek mitigasi banjir berjumlah RM90,000,000.00 telah diperuntukkan oleh PBT-PBT untuk menyelesaikan isu di kawasan-kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker selain daripada itu, kita juga melihat kepada peluang-peluang perniagaan untuk peniaga-peniaga kita di seluruh negeri Johor. Antaranya baru-baru ini, di peringkat PUJB, kita telah melaksanakan program Insentif Bantuan Khemah, kita juga meneruskan Insentif Bantuan Rakyat 0% interest. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau lalu Bank Rakyat dan juga kerajaan negeri, ambil loan perniagaan RM50,000.00 ke bawah, kadar faedahny 0%. Kalau antara RM50,000.00 dan juga RM500,000.00 kadar peratus faedah lebih kurang, YB Hairi berapa? 4.8%. So the balance ditanggung oleh kerajaan negeri.
Kita juga sedang berusaha untuk memastikan bahawa hab halal Johor di seluruh negeri Johor dapat kita laksanakan, YB Fared insya-Allah tahun ini juga, dah ada master plan. Selain daripada itu, sudah semestinya segalanya perlu kita pulangkan kepada rakyat dari segi bantuan-bantuan kepada Asnaf, kepada golongan miskin, kita buat program hari raya, kita buat Program Bakul Makanan, kita buat Program JOJ, kita buat bantuan kepada front liners. Johor satu-satunya negeri Yang Berhormat, yang memberi bantuan contohnya, kepada setiap bilik guru dalam negeri. Johor satu-satunya negeri memberi bantuan kepada setiap hospital. (Dewan bertepuk). Johor satu-satunya negeri memberi bantuan kepada setiap IPK dan juga kem-kem tentera.
Seterusnya, kita juga memberi bantuan kepada warga emas, ibu tunggal, belia agar tidak ada satu golongan pun yang tertinggal dalam arus kemajuan. Dari bandar hingga ke kampung, ini gambar-gambar, antara Wakil-Wakil Rakyat yang buat kerja Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa dia orang terlepas pandang nak letak gambar Yang Berhormat Datuk Speaker dalam ini. Nanti saya betulkan Yang Berhormat Datuk Speaker slide ini, silap ini gambar Yang Berhormat Datuk Speaker kena ada, gambar timbalan tu dah ada tu.
Macam Speaker tak buat kerja pula.
Itulah silap, saya nak menafikan kenyataan itu Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya rasa antara ADUN yang paling rajin dekat Johor ini ialah Yang Berhormat Datuk Speaker sendiri. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sedar dan insaf bahawa banyak lagi yang perlu kerajaan negeri buat tetapi saya ingin mengingatkan Dewan yang mulia ini termasuk diri saya yang kerdil bahawa Kota Rome tidak dibina dalam masa satu hari.
Rome was not built in one day. Sama juga Shenzhen Yang Berhormat Datuk Speaker. Ia bermula dengan satu kawasan perikanan yang dihuni oleh nelayan-nelayan 40 tahun yang lepas tetapi berkat usaha kerajaan mereka menggemblengkan tenaga bersama rakyat dan semua sektor, sekarang ini Shenzhen adalah antara ekonomi yang terbesar di China dan dunia. Jadi insya-Allah Yang Berhormat, kalau kita terus berusaha, kita terus bekerjasama, saya yakin kita boleh menjayakan agenda untuk JS - SEZ dan juga Maju Johor ini. Dan ada satu quotation yang saya selalu sebut dalam sidang DUN sebelum-sebelum ini iaitu Te ci syie Te Pan yang bermaksud direct translation dia special thing, special effort. Dalam Bahasa Melayunya Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita nak menghasilkan sesuatu yang luar biasa, kita kena berusaha secara luar biasa sebab objektif yang kita nak capai, KPI yang kita nak capai ini luar biasa. Tetapi kalau cara budaya kerja kita tetap sama Yang Berhormat Datuk Speaker, saya khuatir kita tidak akan berjaya tetapi syukur Alhamdulillah, saya tengok bila kita dah mula rapatkan saf, kita bergerak sebagai satu pasukan, kita pecahkan kepompong-kepompong. We break down all the silos Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab itu kita mendapatkan hasil yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dan perkara ini perlu kita teruskan. Bak kata orang-orang lama, serumpun bak serai, sesusun bak sireh. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia sebab muafakat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Tahniah Yang Amat Berhormat. Sebab itu kuat hati nurani saya mengatakan bahawa Maju Johor menjelang 2030 akan tercapai, insya-Allah. Ok, jemput Sri Medan.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Sri Medan ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah berjaya untuk memacu negeri Johor dalam sektor ekonomi sebagai kuasa baru dalam negara kita Malaysia. Tahniah dan syabas Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.
Pada sudut pandangan saya, kalau kita bercakap soal pelaburan, mungkin kita melihat kepada dua (2) perkara Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertama, soal pekerjaan. Yang kedua, soal hasil cukai kepada negeri Johor. Tapi sudut pandangan rakyat mungkin berbeza. Mungkin rakyat melihat bahawa pengumuman daripada kerajaan negeri Johor soal pelaburan yang tinggi, mungkin apa yang dapat disentuh kepada mereka semua. Dalam hati mereka. Jadi, di sini saya ada soalan yang saya ingin ajukan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Apakah kerajaan negeri Johor telah menetapkan sebarang syarat pada pelabur luar untuk mengutamakan pengambilan pekerja-pekerja tempatan dan juga mungkin ada soal penetapan tangga gaji yang mungkin setara dengan negara Singapura atau hampir setara. Kerana kita lihat hari ini mereka berkejar ke negara Singapura kerana mereka mengejar gaji yang tinggi. Kalau ini yang boleh diusahakan oleh kerajaan negeri Johor, insya-Allah usaha kita dengan menarik pelaburan dan juga JS-SEZ akan memberi manfaat kepada rakyat negeri Johor. Terima kasih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Sri Medan atas soalan tentang tawaran pekerjaan dan juga tawaran gaji yang kita berikan kepada rakyat Bangsa Johor yang mendapat peluang di sini. Dari segi mengadakan peraturan khusus untuk mereka yang melabur di sini, kena bagi syarat, kita bagi syarat yang khas, tak de. Namun begitu, di peringkat MITI Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka menetapkan bahawa sektor pembuatan digalakkan mengekalkan komposisi tenaga pekerja tempatan 80% dan pekerja asing 20%. Itu syarat MITI. Di peringkat negeri Yang Berhormat Datuk Speaker, melalui JS-SEZ, kita gembleng tenaga IMFC-J, Invest Malaysia Facilitation Centre dan juga JTDC yang saya sebut dalam jawapan saya tadi. Kedua-dua mereka ini bila berjumpa dengan pelabur yang masuk ke Johor, dari segi tangga gaji dan peluang pekerjaan adalah antara soalan pertama yang diajukan kepada pelabur-pelabur yang masuk ke Johor. Dan kita menggalakkan bahawa dari segi gaji untuk diploma holders ialah RM3,500.00 ke atas, untuk degree holders mesti RM4,000.00 ke atas. Dan, syukur alhamdulillah Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan, sukacita saya laporkan majoriti syarikat-syarikat yang melabur di negeri Johor ini mereka bersetuju dengan apa yang kita hasratkan. Tetapi, ada syarat.
Antara dua (2) syarat utama, pertamanya ialah dari segi produktiviti. Produktiviti kena sama dengan gaji yang kita tawarkan. Keduanya dari segi technical skills. Anak-anak kita terus diberikan latihan, berkat sekali lagi usahasama dengan universiti-universiti, dengan Johor Skills dan sebagainya untuk memastikan bahawa apa yang diperlukan sama dengan apa yang dapat kita tawarkan. Contohnya, baru semalam Yang Berhormat Datuk Speaker, saya dan YB Lee dan pasukan, baru berjumpa dengan satu syarikat daripada China, Hai Tien. Dia fasa pertama Yang Berhormat Datuk Speaker melabur RM500 juta. Dalam masa 2-3 fasa lagi dia akan melabur sejumlah RM3 bilion. Tetapi dia minta dekat kita supaya ada tenaga pakar ataupun tenaga mahir yang dapat kita salurkan kepada mereka. Dan, mereka bersetuju untuk buka R&D centre kat sini. Mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan UTHM untuk memastikan bahawa kilang-kilang mereka ini dipenuhi oleh anak-anak muda
negeri Johor yang berkelayakan. So, ini antara usaha-usaha yang sedang kita buat di negeri Johor untuk address isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sri Medan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Kita jemput Sedili.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya, apakah langkah kerajaan negeri bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicetuskan oleh pelaburan ini tidak menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat?
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Sedili atas soalan isu kos sara hidup. Kita semua sedia maklum dari segi inflasi dan kos sara hidup ini berlaku sama ada, ada JS-SEZ ke tak de ke, tetap berlaku. Namun begitu, di peringkat kerajaan negeri kita nak pastikan bahawa impaknya, kesannya kepada rakyat dapat kita kurangkan. Sebab itu kita banyak buat program-program untuk membantu rakyat dan Bangsa Johor. Contohnya Program Bakul Makanan, contohnya Jualan Kasih, jualan barang-barang murah kepada rakyat. Pada masa sama kita bekerjasama dengan KPDNHEP nak pastikan bahawa minyak-minyak masak packet itu dapat kita tingkatkan untuk dijual kepada rakyat dan Bangsa Johor. Kita tak nak berlaku ketirisan, malah saya, YB Lee dan Dato’ Jafni pun buat spot check untuk memastikan bahawa kita dapat mengurangkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku lagi.
Rumah-rumah mampu milik pun kita nak tingkatkan seperti yang apa yang Dato’ Jafni dah sebut sebelum ini. Target kita by 2030 Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah 100,000 rumah-rumah mampu millik untuk Bangsa Johor. Dan, saya tengok kerja-kerja untuk memastikan miskin tegar di negeri Johor diteruskan oleh YB Fared dan juga YB Khairin. Bantuan-bantuan untuk membaiki rumah kepada orang yang kurang kemampuan juga diteruskan oleh EXCO-EXCO berkenaan. Jadi, Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun isu ini adalah isu nasional, isu ini adalah isu global, di peringkat negeri Johor dengan hasil tambahan melalui JS-SEZ ini, insya-Allah ia akan terus dapat kita salurkan untuk rakyat dan Bangsa Johor. Sekian, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Bukit Naning.
Bismillahirrahmaanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bukit Naning nombor enam (6).
Masjid Al-Redzuan Kampung Sri Dalam telah mengalami kerosakan struktur dan retak akibat pemendapan tanah. Pemeriksaan dan penilaian telah dilakukan oleh JKR Muar pada Mei 2023. Walau bagaimanapun kerja baik pulih masih tertangguh sekian lama kerana belum menerima kelulusan. Mohon ia disegerakan.
Bismillahirrahmaanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bukit Naning bertanya tentang keadaan Masjid Al-Redzuan Kampung Sri Dalam yang mengalami kerosakan struktur dan retak akibat pemendapan tanah dan projek ini, baik pulih ini Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun mula kita kenal pasti sejak pertengahan 2023. Jadi, YB Bukit Naning tanya apakah perkembangan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Masjid Bukit Naning sepertimana masjid-masjid yang lain sebahagiannya uzur dan perlukan kepada penambahbaikan. Saya sendiri pada November 2023, Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun turun dan sejak itu beberapa sesi lawatan JKR dan juga Bahagian Pengurusan Masjid Surau telah dilakukan termasuk mendapatkan nasihat struktur daripada pihak JKR. Yang Berhormat Datuk Speaker, suka saya mengumumkan hasil kerjasama semua pihak termasuk JKR, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, MAIJ, Perbadanan Islam Negeri Johor, saya suka memaklumkan kerosakan di masjid YB Bukit Naning ini pertama telah pun dikenal pasti sebanyak RM500,000.00. Tinggi tu, setengah juta. Dan saya juga suka memaklumkan berita baik kepada orang Bukit Naning, bahawa Jabatan Agama Islam melalui Tabung Pembangunan Masjid Surau Negeri Johor telah bersetuju menyumbangkan RM200,000.00. Perbadanan Islam Johor melalui Tabung Wakaf Rakyat Johor bersetuju untuk menyumbangkan RM300,000.00 bagi maksud baik pulih Masjid Al-Redzuan selepas mendapat pengesahan struktur dan keselamatan daripada pihak JKR.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya saya suka menyentuh tentang apa itu Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Negeri Johor. Sambil saya terangkan keperluan rakyat, saya terangkan juga keperluan tabung ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, tabung ini telah pun ditubuhkan sejak tahun 2000. Tabung ini berfungsi untuk membina, memelihara, mempertingkatkan dan melengkapkan masjid surau dalam negeri Johor bagi semua keperluan-keperluan dan aktiviti amal jariahnya. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya pun nak memaklumkan bahawa kekangan tabung ini ialah kita dalam rekod perlu juga menjaga sebanyak, dalam rekod kita Datuk Speaker, 2,741 buah masjid, surau. Maksudnya bukan hanya Bukit Naning tapi seluruh negeri. Daripada semua jumlah ini masjid berjumlah 843 buah, surau pula 1,898 buah. Jadi tabung ini mempunyai tugas yang besar iaitu telah menerima manfaat daripada kutipan awam dan sumbangan kerajaan. Jadi saya menyeru kepada semua pihak, Wakil Rakyat, Yang Berhormat terutamanya yang beragama Islam untuk menyokong penubuhan tabung ini dengan terus menyumbang sama ada secara tunai, potongan gaji mahupun melalui QR Code.
Keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga nak memaklumkan perihalan tentang Tabung Wakaf Rakyat Johor. Tabung Wakaf Rakyat Johor ini juga mempunyai tugasan yang sama cuma besar dan luasnya dia tak terhad kepada masjid dan surau. Boleh juga untuk wakaf sekolah agama, boleh juga untuk wakaf van jenazah, boleh juga untuk wakaf pendidikan. Tabung Wakaf Rakyat Johor ini dijaga, diselenggara oleh PIJ, Perbadanan Islam Negeri Johor, ditubuhkan pada 2016 yang telah pun sehingga kini kutipannya sebanyak RM7 juta. Dan, saya juga mengajak kepada semua warga juga untuk menyumbang kepada Tabung Wakaf Rakyat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menutup jawapan ini, saya nak berkongsikan dua (2) berita sedih. Pertamanya tentang pemergian salah seorang daripada penjawat awam kita, kakitangan di Pejabat Daerah Batu Pahat, Cik Norizah Tambunan binti Nordin. Allahyarhamah merupakan salah seorang jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor. Beliau telah meninggal dunia di kota suci Mekah pada 16 hari bulan dan telah pun dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaroya 64, Mekah. Wajah yang sebelah itu pula Yang Berhormat Datuk Speaker, ini berita yang baru kita terima pagi tadi. Beliau adalah Muhammad Al-Hafiz bin Yunus, Imam Masjid Bandar Pontian. Beliau ini hilang di laut Yang Berhormat Datuk Speaker, malam tadi. Sebab dia aktiviti persendirian, memancing Yang Berhormat Datuk Speaker di luar waktu pejabat, kita tak halang. Tetapi beliau hilang di laut.
Dan bagi kedua-dua mereka ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Imam Al-Hafiz masih belum dijumpai sampai setakat ini. Pencarian diteruskan oleh pihak berkuasa jam 8.30 pagi tadi, setakat dah pukul 10.30pagi ini pun belum dapat berita lagi. Tapi bagi kedua-duanya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon izinlah Yang Berhormat Datuk Speaker untuk bagi yang meninggal dunia kita sedekahkan Al-Fatihah untuk kesejahteraan roh, bagi yang sedang dalam pencarian Yang Berhormat Datuk Speaker saya mohon izin juga, untuk Dewan yang mulia in menyedekahkan Al-Fatihah bagi keselamatan dan kemudahan. Dengan ini Yang Berhormat Datuk Speaker saya mohon untuk kedua-dua mereka ini bagi yang beragama Islam sedekahkan Al-Fatihah, bagi yang bukan beragama Islam bertakafur seketika. Al-Fatihah. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Kemelah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Kemelah nombor tujuh (7). Terima kasih. Apakah langkah penguatkuasaan atau inisiatif khusus di peringkat negeri yang sedang atau akan diambil bagi mengekang peniaga daripada menaikkan harga sewenang-wenangnya dan sejauh mana keberkesanan langkah-langkah tersebut setakat ini dalam melindungi pengguna Johor?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kemelah telah pun bangkitkan soalan berkaitan apakah langkah penguatkuasaan atau inisiatif khusus di peringkat negeri yang sedang dan atau akan diambil bagi mengekang peniaga daripada menaikkan harga sewenang-wenangnya dan sejauh mana keberkesanan langkah-langkah tersebut setakat ini dalam melindungi pengguna Johor? Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui kerjasama erat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN) komited dan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang yang tidak munasabah. Walau bagaimanapun adalah penting untuk difahami bahawa bukan semua kenaikan harga barangan atau perkhidmatan boleh diklasifikasikan sebagai pencatutan. Penilaian menyeluruh perlu dilakukan berdasarkan data kos dan harga dalam tempoh tertentu bagi memastikan keadilan pada pengguna dan juga peniaga. Mana-mana peniaga atau individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, di bawah kesalahan mencatut adalah seperti yang berikut: Jika suatu pertubuhan perbadanan denda tidak melebihi RM500,000.00 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta atau jika bukan suatu pertubuhan perbadanan iaitu perseorangan didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya. Dan bagi kesalahan kali yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk melindungi hak dan kepentingan rakyat daripada amalan perdagangan yang tidak bertanggungjawab atau menyalahi undang-undang. Ia dilaksanakan bagi memastikan harga barangan dan caj perkhidmatan adalah wajar dan peniaga tidak menaikkan harga barangan secara tidak munasabah. KPDN telah menggunakan data-data harga yang telah dikutip oleh Pegawai Pemantau Harga bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas sebarang kenaikan harga barangan
yang berlaku. Antara tindakan-tindakan yang telah dan sedang diambil bagi mengekang peniaga menaikkan harga barangan yang tidak munasabah adalah:-1. Ops Kesan yang telah pun kita laksanakan bagi memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan juga caj perkhidmatan. Sehingga kini sebanyak 519 notis bertulis telah pun diserahkan di seluruh negeri Johor untuk daripada untuk pemeriksaan dan maklum balas notis dan juga analisa pencatutan yang dijalankan telah pun menghasilkan 91 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.
2. Kita melaksanakan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawal, Deepavali dan juga Krismas. Bagi Skim Harga Kawalan musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, sebanyak 307 pemeriksaan dilakukan dan 123 kes dikenakan tindakan. Manakala bagi Skim Kawalan Harga untuk musim perayaan Aidilfitri sebanyak 477 pemeriksaan dilaksanakan dan 85 kes dikenakan tindakan.
3. Kita menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang mengenai penandaan harga bagi barangan dan juga caj bagi perkhidmatan 2022 bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga dengan jelas. Sehingga 7 Mei 2025, sebanyak 550 kes berkaitan kesalahan penandaan harga diambil tindakan di negeri Johor.
4. Kita melaksanakan Ops Saboh melalui penyamaran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa dan juga kita sentiasa mengadakan spot check-spot check di hotspot tertentu, termasuk Dato’ Menteri Besar sendiri yang telah pun turun ke padang untuk menjalankan spot check.
5. Kita melaksanakan tinjauan serta semakan berdasarkan kutipan harga yang dilaksanakan oleh Pegawai Pemantau Harga secara harian dan berdasarkan dengan data harga melalui sistem price catcher dan;
6. Kita melaksanakan Jualan Rahmah MADANI di seluruh negeri Johor yang menawarkan barangan keperluan dengan potongan harga antara 10 hingga 30% berbanding dengan harga pasaran. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor bersama KPDN Johor bukan sahaja bersifat reaktif tetapi juga proaktif, merangkumi pemantauan, penguatkuasaan dan juga intervensi pasaran. Pendekatan bersepadu ini diharapkan dapat terus melindungi kesejahteraan pengguna Johor daripada manipulasi harga dan juga amalan perniagaan yang tidak beretika. Sekian, terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Gambir.
Assalamualaikum dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Gambir nombor lapan (8). Terima kasih.
Apakah status terkini projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan bagi Tambahan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) dan adakah kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi mempercepatkan projek ini memandangkan keadaan banjir di negeri Johor kerap berlaku?
Dijemput Yang Berhormat Pemanis.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor sembilan (9). Johor baru-baru ini dilanda banjir dan memberi kesan besar kepada rakyat. Bolehkah kerajaan menyatakan status terkini setiap projek tebatan banjir di Johor dan projek hotspot banjir khususnya di kawasan bandaraya Johor Bahru termasuk peruntukan yang digunakan serta jangkaan tempoh siap?
Dijemput Yang Berhormat Skudai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 10. Apakah perkembangan penyelesaian hotspot banjir di Johor dan berapa banyak kawasan hotspot banjir yang telah berjaya diselesaikan?
Sila. YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Bismillahirrahmaannirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Gambir, Pemanis dan Skudai atas persoalan berkaitan tentang banjir. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, Projek-Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi Negeri Johor adalah dalam peringkat pelaksanaan. Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan terhadap usaha menangani isu banjir secara menyeluruh dan berkesan. Sebanyak 11 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dalam pelaksanaan yang melibatkan enam (6) daerah, Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Tangkak dan juga Johor Bahru. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, projek di Segamat, insya-Allah akan disiapkan menjelang akhir tahun 2025 yang melibatkan kos RM461 juta. Selain itu, satu (1) lagi projek di Segamat iaitu Sungai Muar Fasa 3 Pakej 2, menaik taraf Sungai Labis, Sungai Jementah dan cabangnya bernilai RM71 juta juga dirancang akan siap pada Disember 2027. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Johor iaitu pembinaan kolam takungan banjir dan menaik taraf Sungai Johor di Kota Tinggi bernilai RM376 juta dijangka siap Disember 2027. Bila saya sebut Disember 2027 Yang Berhormat Datuk Speaker sebenarnnya di atas kertas sepatutnya projek-projek ini siap 2029. Tapi disebabkan kita melaksanakan satu (1) task force di peringkat negeri dan juga di peringkat persekutuan jadi projek-projek ini diawalkan daripada 2029 ke 2027. Satu lagi projek di Kota Tinggi iaitu menaik taraf Sungai Johor Fasa 1 Pakej 2 bernilai RM74 juta juga dipercepatkan daripada 2029 ke 2027. Batu Pahat, Rancangan Tebatan Banjir Batu Pahat yang kita juga masukkan dalam projek berimpak tinggi yang sepatutnya siap 2029 dan kita jangka kita boleh awalkan sedikit perlaksanaan dan penyiapannya. RTB
Sungai Muar Fasa 2 untuk kawasan Muar dan juga kawasan Tangkak, bernilai RM331 juta. Yang ini dalam pra pelaksanaan dan dijangka boleh siap pada November 2027. Dan ada beberapa lagi projek berimpak tinggi yang lain yang saya boleh kongsikan kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan. Bagi memantau kerja-kerja ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, Jawatankuasa khas telah dibentuk bukan sahaja di peringkat negeri malah bersama dengan peringkat kerajaan pusat yang mana saya dan juga Ketua Setiausaha Kementerian PETRA menjadi Pengerusi bersamanya untuk melaksanakan pemantauan, penyelarasan dan pemudah cara bagi koordinasi antara pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dalam memastikan projek dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, bagi tempoh tahun ini sahaja, perjumpaan atau pun perbincangan task force telah diadakan sebanyak lima (5) kali iaitu pada 13 Januari, 27 Februari, 6 Mac, 14 April dan 8 Mei yang lepas. Ini tidak termasuk banyak lagi mesyuarat ataupun perbincangan di peringkat teknikal yang melibatkan JPS dan team projecta. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dengan meluluskan sembilan (9) projek tebatan banjir menggunakan peruntukan negeri bernilai RM15.53 juta di daerah Tangkak, Pontian, Kulai, Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Mersing dan juga Johor Bahru. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, pada tahun untuk fokus kawasan Johor Bahru pada tahun 2023, sebanyak sembilan (9) projek telah disiapkan bernilai RM695,000.00. Pada tahun 2024 sebanyak lapan (8) projek telah pun disiapkan bernilai RM507,000.00 manakala pada tahun ini untuk makluman Yang Berhormat Skudai, sebanyak RM2.4 juta diperuntukkan untuk dua (2) projek yang mana kedua-dua projek ini insya-Allah, boleh disiapkan pada tahun ini dan status semasanya ialah 90 ke 95%. Kita sedar banyak lagi lokasi. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau saya boleh kongsikan air ni, kalau kereta kita tahan dekat tengah jalan tu kereta tak gerak, tetapi air ni kalau kita tahan dia akan pergi ke tempat lain. Jadi untuk mengatasi banjir ini tak cukup dengan projek yang sedia ada. Dia kena ada projek kesinambungan satu persatu yang mana kita mohon dengan kerajaan pusat. Alhamdulilah, kita dah terima 11 projek bernilai RM2.3 bilion tetapi kita mohon lagi RM2.23 bilion dalam RMK yang Ke-13 iaitu RM186 juta untuk Tangkak, iaitu kawasan banjir lembangan Sungai Kesang Fasa 2 daerah Tangkak. Segamat RM43.8 juta yang ini akan melibatkan Kampung Jawa ke FELDA Medoi dan daerah TKPM Sekijang, di kawasan Segamat. Di Pontian sebanyak RM290 juta melibatkan empat (4) projek yang kita mohon dengan kerajaan persekutuan iaitu satu (1) lembangan Sungai Pontian Kecil RM183 juta, Projek Kawalan Hakisan Pantai Mukim Rimba Terjun RM16.6 juta. Muara-muara sungai di daerah Pontian, RM28.3 juta dan juga projek pemuliharaan Sungai Benut daerah Pontian bernilai RM62 juta. Untuk daerah Muar ada tiga (3) projek iaitu Projek Mengawal Hakisan Pantai Seri Menanti. Dia di bawah kawasan Sungai Balang bernilai RM95 juta yang kita angkat ke peringkat persekutuan. Pemuliharaan Sungai Muar RM71.9 juta dan juga Projek Saliran Mesra Alam di Pekan Bakri bernilai RM78.5 juta, menjadikan permohonan untuk Muar sahaja RM245.9 juta. Selain itu di Mersing RM94.8 juta untuk dua (2) projek. Di Kulai RM55.5 juta untuk Sungai Sayong Mukim Sedenak Daerah Kulai. Di Kota Tinggi untuk muara Sungai Sedili RM107 juta, manakala Kluang ni Yang Berhormat Datuk Speaker kita kenal pasti antara kawasan-kawasan banjir dalam kawasan bandar. Jadi kita mengangkat permohonan sebanyak RM910 juta melibatkan empat (4) projek iaitu Sungai Mengkibol, Sungai Kluang, Sungai Melantai, Sungai Parit Haji Hashim dan juga untuk kawasan-kawasan empangan
berkaitan di Empangan Machap. Dan untuk Johor Bahru sebanyak dua (2) projek bernilai RM66.6 juta kita angkat iaitu tebatan banjir Sungai Masai bernilai RM47,000,000.00 dan kajian keseluruhan kawasan Johor Bahru bernilai RM19,000,000.00. Tidak ketinggalan Batu Pahat RM230,000,000.00 lagi kita mohon bagi (dua) 2 projek iaitu Tebatan Banjir Senggarang dan Parit Botak Fasa 1 dan juga Empangan Bekok bernilai RM20.6 juta.
Awal-awal tahun yang lepas kita dikejutkan dengan banjir di kawasan Johor Bahru. Walaupun kita telah melaksanakan banyak projek Yang Berhormat Datuk Speaker, kita masih mengenal pasti ada beberapa lagi lokasi yang menjadi hotspot kepada banjir. Untuk kawasan Johor Bahru, kita kenal pasti ada 70 lokasi yang mana 33 melibatkan JPS dan lain-lain agensi melibatkan 37 lokasi dan keseluruhan bantuan atau pun peruntukan yang kita mohon ialah RM9.22 juta.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya fokus kepada Johor Bahru. Ada beberapa projek juga yang sedang berjalan di kawasan Johor Bahru iaitu Projek Saliran Mesra Alam Tebrau dan Plentong. Yang ini kita akan naikkan sistem saliran di Kampung Ubi dan sistem saliran di Kempas Permatang. Projek ini bermula pada tahun lepas dan insya-Allah siap pada bulan enam (6) 2026 tahun hadapan yang menelan belanja RM8.5 juta. Satu (1) lagi projek yang kita jangka menggunakan peruntukan kerajaan persekutuan yang bermula pada tahun ini iaitu September 2025 ialah Pakej 2 bagi saliran mesra alam Tebrau dan Plentong sama macam yang tadi. Yang tadi menggunakan peruntukan persekutuan bagi projek Fasa 1 dan kita akan mulakan Fasa 2 pada September 2025. Dan terima kasih juga kepada kerajaan persekutuan satu projek baharu yang kita terima pada tahun ini ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Skudai bernilai RM99.8 juta dan sekarang dalam peringkat pelantikan pelaksana perunding.
Banyak lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, permohonan-permohonan kita atau pun projek-projek yang sedang berjalan. Namun begitu ada beberapa cabaran yang kita hadapi iaitu melibatkan penempatan di kawasan-kawasan projek. Kalau sungai-sungai di kawasan kampung Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan kita kenal pasti, antara isu dia ialah pokok atau pun rumput cepat tumbuh. Jadi kita pernah cadangkan supaya rumput-rumput ini diracun tetapi nanti di pihak Alam Sekitar tak setuju sebab saliran ini bukan hanya digunakan untuk mengalirkan air tetapi juga untuk kegunaan pertanian dan juga kegunaan orang ramai. Ada juga isu yang melibatkan bila kita melakukan kaedah penggalian sungai atau pun pendalaman sungai, kedalaman itu tak sekata, air tak pergi ke laut, air back flow balik ke kawasan darat dan antara isu yang saya boleh bangkitkan ialah kadang-kadang kita mohon untuk menukar parit tanah kepada parit batu. Konsep dia Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, 100% air yang turun, 90% sepatutnya diserap 10% yang mengalir tetapi bila kita guna parit batu, 100% turun 100% mengalir. Jadi itu menyebabkan saliran-saliran kita mudah tersumbat. Jadi, untuk memastikan banjir ini dapat dikurangkan sebab itu kita jarang guna istilah menghapuskan banjir dan sebagainya. Kita cuma boleh mengurangkan risiko banjir kerana air yang turun ini perlu dialirkan ke kawasan sungai atau pun laut. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Kita jemput Gambir.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas jawapan. Saya ingin menarik perhatian Yang
Berhormat EXCO terhadap satu cadangan Projek Tebatan Banjir Sungai Belemang. Saya difahamkan bahawa projek ini menelan kos anggarannya sebanyak RM12 juta dan sehingga ini, dia tidak menjadi projek keutamaan dalam peringkat penyediaan RMK Yang Ke-13. Isunya adalah fenomena banjir termenung di kawasan persekitaran Yang Berhormat Datuk Speaker telah pun berlarutan selama tiga (3) atau pun empat (4) bulan pada tahun ini, berlanjutan sehingga hari ini. Jadi, soalan saya kepada YB EXCO, apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengangkat projek ini supaya dapat dilaksanakan Projek Tebatan Banjir kerana sesungguhnya fenomena banjir termenung itu telah merugikan penduduk kampung dan juga pekebun-pekebun kecil, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi saya senaraikan banyak projek dan saya faham ada kerisauan daripada Ahli-Ahli Dewan apabila ada projek-projek kawasan mereka tidak dimasukkan dalam projek berimpak tinggi. Kita ada beratus projek berkaitan dengan banjir Yang Berhormat Datuk Speaker, tetapi kita angkat 11 projek berkeutamaan tinggi. Jadi kita akan semak balik projek Sungai Belemang, sekiranya dia masuk dalam kategori atau pun definasi projek berimpak tinggi iaitu projek yang perlu disiapkan cepat, memberi impak ekonomi dan memberi keselamatan kepada penduduk, insya-Allah kita akan boleh masukkan Yang Berhormat nanti dalam projek berimpak tinggi yang di monitor secara rapat oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat. Cuma bila sebut berkaitan tentang banjir termenung, kita ada kaedah jangka masa pendek iaitu pembelian beberapa unit pam dan juga kita boleh pam ini jenis yang boleh mobilized, yang boleh dipindah-pindahkan. Yang Berhormat Datuk Speaker untuk jangka masa pendek insya-Allah, Yang Berhormat Gambir kita boleh bantu dari segi pengoperasian pam-pam ini, terima kasih.
Ya, Jemput Skudai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan tambahan saya, tadi saya tertarik dengan apa yang disampaikan yakni kita tidak guna penghapusan tetapi pengurangan banjir. Jadi selaras dengan teknologi semasa yang ada sekarang, berapa banyak sistem amaran banjir atau pun sensor banjir yang sedang digunakan atau pun akan diguna pakai di kawasan hotspot-hotspot banjir? Itu sahaja, sekian terima kasih.
YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Skudai, saya tidak ada angka tepat berkaitan tentang sistem amaran ini tetapi kita beberapa sistem amaran yang kita gunakan khusus di kawasan-kawasan banjir dan kita telah improve sistem ini. Sebelum ini beberapa minit sebelum banjir sahaja dia berbunyi siren ini tetapi saya ingat kita ada pertingkatkan dalam tempoh beberapa minit atau pun setengah jam, satu jam awal, siren telah dibunyikan, nanti saya akan update balik kepada Yang Berhormat Skudai secara lebih terperinci, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Speaker, soalan tambahan.
Dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Senggarang Nombor 11.
Memandangkan negara Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang tahun 2030, apakah perancangan yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan golongan warga emas di negeri ini sentiasa terbela?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Senggarang. Soalan yang diajukan oleh Senggarang pada saya adalah memandangkan Malaysia ini menuju ke arah negara tua menjelang tahun 2030, apakah perancangan yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan golongan warga emas di negeri ini sentiasa terbela?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa prihatin terhadap golongan warga emas di negara ini. Berdasarkan unjuran sehingga pertengahan tahun 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 482,600 orang di negeri Johor adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Ianya merupakan 11.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri Johor iaitu seramai 4,136,800 orang. Dengan mengambil kira angka itu, pihak kerajaan sentiasa menambah baik perkhidmatan yang disediakan kepada golongan warga emas ini. Bagi memastikan golongan warga emas ini sentiasa terbela, Jawatankusa Pembangunan Warga Emas Negeri (JPWEN) dan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah telah diwujudkan di negeri dan daerah bagi memantau pembangunan dan pelaksanaan program-program bersesuaian bagi golongan ini. JPWEN ini menjadi medium hubungan strategik yang menghubungkan pentadbiran persekutuan dengan kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor merupakan Pengerusi bagi JPWEN manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor sebagai urus setia Ahli Jawatankuasa JPWEN terdiri daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Antara peranan jawatankuasa ini adalah membantu pengerusi, merancang dan menyelaras pelaksanaan pelan tindakan warga emas negara, mengenal pasti isu, masalah yang memerlukan perhatian peringkat negeri dan menambah baik program aktiviti pembangunan warga emas dan mengemukakan laporan program aktiviti ke peringkat seterusnya. Mekanisme yang sama beroperasi di peringkat daerah iaitu JPWED dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pejabat Kebajikan Daerah sebagai urus setia ahli dalam jawatankuasa itu terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, penghulu-penghulu dan individu yang terlibat secara aktif dalam pembangunan warga emas setempat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di samping itu juga kerajaan telah menubuhkan pusat aktiviti warga emas yang merupakan manifestasi daripada dasar dan pelan tindakan warga emas negara. PAWE adalah sebuah pusat bagi warga emas menjalankan pelbagai aktiviti untuk warga emas, menimba ilmu pengetahun, mengisi masa lapang dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti sukan, agama, kesihatan, sosial dan sebagainya. Sehingga ini, terdapat sebanyak 22 buah PAWE di seluruh negeri Johor. Jabatan sentiasa menggalakkan pertubuhan untuk berkolaborasi dengan syarikat-syarikat korporat atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang lain selain daripada bantuan yang telah
disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk sama-sama membantu dan memberi sumbangan seperti peruntukan dan penglibatan dalam aktiviti yang dilaksanakan di PAWE agar program-program dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan memastikan perlaksanaan dasar warga emas ini sendiri turut berperanan menangani isu-isu warga emas dan fenomena penuaan. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Jemput Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker dan terima kasih juga Yang Berhormat EXCO atas jawapan itu tadi. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau boleh kita tahu apakah asas penubuhan pusat aktiviti warga emas ini dan apakah cara perkhidmatan yang diberikan? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, asas penubuhan pusat aktiviti warga emas ini atau lebih mesra disebut dengan PAWE ditubuhkan berlandaskan lima (5) objektif utama iaitu mempelbagai dan memperluaskan kemudahan-kemudahan untuk kesejahteraan dan pembangunan warga emas, meningkatkan kualiti hidup warga emas selari dengan konsep warga emas aktif dan produktif, memberi ruang kepada warga emas agar dihargai melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran mereka, menggalakkan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak dalam permohonan warga emas selaras dengan dasar warga emas negara dan warga emas negeri, menyatupadukan pelbagai etnik dan agama dalam sesebuah komuniti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, PAWE merupakan satu perkhidmatan bercorak pendamping sosial atau reaching out dan pembangunan developmental kepada warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan. Antara penekanan dalam pelaksanaan PAWE ini meliputi aktiviti-aktiviti di bawah dimensi penuaan sihat, penuaan positif, penuaan aktif, penuaan produktif dan penuaan menyokong.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan mengambil inisiatif proaktif dengan mewujudkan satu inisiatif baharu untuk pelaksanaan bagi tahun 2015 iaitu Program Pemerkasaan Warga Emas atau PAWE@3A bagi tujuan memperkasa warga emas dalam komuniti. Program ini dilaksanakan oleh pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi melaksanakan program atau aktiviti pemerkasaan warga emas dan masyarakat tanpa terikat pada mana-mana pusat atau premis tertentu dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa anytime dengan izin, di mana-mana anywhere dengan izin dan di mana-mana tempat anyplace dengan izin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, konsep 3A ini dicetuskan bagi memberi ruang dan peluang kepada semua pertubuhan sukarela PSK untuk menjalankan program aktiviti pemerkasaan warga emas dalam lokaliti masing-masing secara fleksibel tanpa terikat kepada premis atau waktu tertentu terutama di kawasan yang mempunyai populasi warga emas dan tidak mempunyai kemudahan pusat aktiviti warga emas dan PAWE ini diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada warga emas bagi menjalankan aktiviti bersama komuniti dengan menekankan elemen program berteraskan komuniti intergenerasi dan interaktif. Oleh itu bagi pihak kerajaan usaha untuk memantapkan peranan, aktiviti PAWE dan komuniti ini
sebenarnya sangat memerlukan komitmen pertubuhan, komuniti dan kerjasama dari pelbagai pihak dari semua peringkat. Terima kasih.
Yang Berhormat, tak boleh ke kategori warga emas ini dinaikkan daripada 60 kepada 70? Saya cukup sensitif dengan orang panggil saya pak cik terutama cashier-cashier kan, panggil saya pak cik, kalau panggil abang itu sedap sikit dengar kan. Tolong naikkan daripada 60 kepada 70.
Saya akan usahakan Yang Berhormat Datuk Speaker. (Dewan ketawa).
Saya jemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12 dan juga 13. Terima kasih.
Apakah perancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam usaha untuk melahirkan pemain bola sepak anak jati kelahiran Johor sendiri.
Adakah persatuan bola sepak yang ada disetiap daerah mendapat kerjasama dari kerajaan negeri untuk membantu dari segi latihan dan kewangan supaya persatuan ini juga dapat membantu mencungkil bakat anak jati Johor yang boleh bermain bola sepak disetiap daerah?
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirahmaanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Suka saya menjawab soalan daripada YB Pulai Sebatang yang bertanyakan pasal bola. Apakah rancangan jangka masa panjang bagi kerajaan negeri Johor melahirkan pemain bola sepak professional yang merupakan anak jati kelahiran Johor dan juga soalan keduanya adalah merupakan bagaimana kerajaan negeri Johor dapat membantu persatuan-persatuan daerah dalam negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pulai Sebatang, seorang ibu, seorang insan yang gemarkan mungkin bola sepak. Di atas keprihatinan soalan yang dikemukakan oleh beliau itu saya ucapkan tahniah dan semestinya melihat bola sepak dan persatuan di daerah-daerah juga dapat memainkan peranan bersama-sama membangunkan lagi eko sistem sukan bola sepak di negeri Johor ini. Ramai yang cemburu dengan prestasi skuad bola sepak di negeri Johor. Izinkan saya menjawab dua (2) soalan Yang Berhormat, yang mana untuk makluman Yang Berhormat Pulai Sebatang, kerajaan negeri Johor melalui kolabrasi di antara dua (2) entiti ini iaitu Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim atau pun JDT dan juga Persatuan Bola Sepak Negeri Johor telah banyak menyusun pelan jangka masa pendek dan juga masa panjang dari segi pembangunan akar umbinya dan daerah-daerah melalui usaha sama yang cukup baik dari segi sinerginya. Dari segi program Akademi Bola Sepak JDT contohnya, yang mana akademi ini melatih pemain-pemain bola sepak di seluruh negeri Johor seawal 10 tahun lagi. Yang mana pemain ini juga dibangunkan dan diasah bakat-bakat mereka untuk menjadi pelapis kepada pasukan JDT pada masa akan datang, insya-Allah.
Selain daripada itu, pelan-pelan atau pun program-program pembangunan akar umbi juga terus dijalankan di setiap daerah melalui modul-modul latihan yang cukup teratur berserta dengan kepakaran jurulatih-jurulatih yang disediakan oleh pusat latihan. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Pulai Sebatang, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor antara pasukan atau pun persatuan sukan yang terbaik di negeri Johor. Peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa juga. Pelan pembangunan bola sepak di negeri Johor ini berjalan seiring bermula di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang tertinggi. Tidak boleh disangkal lagi, kita boleh lihat pencapaian-pencapaian yang amat-amat membanggakan negeri Johor selama ini. Jika ianya tidak seiring mana mungkin kita dapat lihat pencapaian-pencapaian seperti itu. Melalui Majlis Sukan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan jabatan-jabatan yang bersangkut paut berkaitan dengan sukan ini, sentiasa menyokong program-program pembangunan bola sepak tidak kira pembangunan dari akar umbi mahu pun di peringkat daerah sudah pasti kerjasama atau pun synergy dengan izin, antara kerajaan negeri bersama dengan agensi-agensi persatuan sukan negeri Johor berjalan sangat-sangat baik.
Terdapat banyak program latihan khusus teknikal kepegawaian dan juga kepengadilan serta kejohanan-kejohanan yang diadakan tidak kira di peringkat daerah hinggalah ke peringkat negeri. Ia membuktikan bahawa satu blueprint yang panjang sama dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor berjalan dengan cukup-cukup baik. Manakala dari segi kewangan pula, insya-Allah kerajaan negeri Johor memperuntukkan sebahagian subsidi bantuan melalui jabatan dan agensi terlibat berdasarkan penilaian serta pengredan yang dibuat oleh jabatan mahu pun agensi yang diajukan oleh persatuan-persatuan daerah. Kita faham Yang Berhormat Pulai Sebatang peruntukan yang disalur tidak mencukupi, namun atas kebijaksanaan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor mahu pun daerah-daerah itu sendiri dalam mencari penajaan maka dapatlah ianya menampung sedikit sebanyak perbelanjaan atau pun kos yang diperlukan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan akar umbi. Semestinya kita tahu Presiden atau pun pengerusi-pengerusi setiap daerah ini pastinya ianya datangnya daripada minat bola itu sendiri. Maka sesiapa sahaja yang ingin mencuba untuk menawarkan diri dalam persatuan-persatuan daerah mahu pun kelab-kelab kecil sehingga besar, saya harap Presiden atau pun pengerusi-pengerusi itu minat dan menjiwai tentang bola sepak, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Ya, jemput Pulai Sebatang.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO. Alhamdulillah, saya ini bukanlah peminat bola asalnya tetapi kena JDT kena ambil tahu dan tiba-tiba terminat pula. Ok, Alhamdulillah. berkenaan dengan soalan tadi, dia bukannya apa berkaitan dengan kewangan especially kami-kami ini ADUN ni, tiap-tiap tahun didatangi oleh persatuan-persatuan dan saya harap peruntukan berkaitan kewangan bola sepak ini mungkin dapat ditambah baiklah pada masa-masa akan datang. Itu berkaitan dengan persatuan induk dan daerah-daerah. Macam mana pula dengan persatuan yang kecil-kecil ini, dekat kampung-kampung. Adakah kerajaan negeri mendekati mereka-mereka ini dan adakah kerajaan negeri juga turut mengadakan kerjasama dengan persatuan-persatuan yang kecil-kecil ini? Terima kasih.
Yang Berhormat Pulai Sebatang, soalan yang baik. Yang Berhormat Datuk Speaker kita
tidak nafikan lagi sebenarnya lahirnya pemain-pemain yang berbakat ini daripada persatuan-persatuan kecil. Sebab itu saya katakan tadi dengan apa yang ada diwujudkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor dengan ada sistem ekosistem dan pengredan dan sebagainya untuk makluman Yang Berhormat Yang Berhormat dan seluruh Ahli Dewan yang mulia ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sememangnya sedikit sebanyak bertanggungjawab menyelaras aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak di peringkat negeri Johor. Di peringkat daerah, persatuan bola sepak daerah memainkan peranan utama menyelaras aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak peringkat daerah. Dan persatuan-persatuan kecil juga tidak dinafikan turut banyak menyumbang dan membantu di setiap daerah, kampung-kampung. So saya mengharapkan agar dapat berkerjasama di peringkat daerah dan berdaftar dengan gabungan di peringkat daerah. Sebabnya untuk makluman Yang Berhormat Pulai Sebatang, kebanyakan kelab-kelab kecil di peringkat-peringkat kampung ianya tidak berpersatuan dan tidak berdaftar di bawah ROS. Saya mohon agar kelab-kelab kecil ini berdaftar atau bergabung dengan peringkat-peringkat daerah agar peringkat kerajaan negeri dapat menyalurkan bantuan-bantuan permulaan secara kecil-kecilan. Dan selain itu juga insya-Allah dengan kolabrasi yang baik di antara gabungan-gabungan daerah dan MSN, FAM juga menganjurkan National Football Development Programme dengan izin. Malah ia melalui program itu juga dapat sedikit sebanyak dilihat mencungkil bakat-bakat anak-anak kita pada satu hari nanti. Sekian, terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini ditangguhkan 20 minit sehingga jam 11:30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 11:10 pagi.
Persidangan disambung semula pada jam 11:30 pagi.
Penolong Jurutulis : SAMBUNGAN PERBAHASAN ATAS RUNDINGAN MENJUNJUNG KASIH TITAH DULI YANG AMAT MULIA TUNKU MAHKOTA ISMAIL, PEMANGKU SULTAN JOHOR .
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung sekarang. Dijemput Yang Berhormat Penggaram, 20 minit.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Patik Merafak Sembah Menjunjung Kasih di atas perkenan dan titah Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan rasmi Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15, Daulat Tuanku. Penggaram ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai Kerajaan Madani kebajikan golongan B40 dan ke bawah menjadi keutamaan. Atas sebab itu projek MyKiosk diwujudkan. MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam membantu perusahaan mikro kecil dan sederhana tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkat keupayaan perniagaan.
Ia bertujuan meningkat taraf sosio ekonomi penduduk tempatan dengan memberi manfaat kepada para peniaga melalui pemberian kadar sewaan kos yang rendah. Pada Oktober 2024, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan bahawa kerajaan
persekutuan melalui KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM21.6 juta untuk sejumlah 867 buah kiosk kepada negeri Johor bagi pelaksanaan program MyKiosk.
Penggaram ingin mengetahui berapakah jumlah terkini peruntukan yang telah diterima oleh PBT di negeri Johor keseluruhannya sehingga April 2025? Inisiatif yang baik ini walau bagaimanapun kini menjadi perhatian ramai selepas kos pembinaannya didakwa tidak masuk akal dan didakwa terdapat penyelewengan dana awam. Penggaram ingin mendapat penjelasan pihak manakah yang melaksanakan pemilihan kontraktor pembekalan kiosk-kiosk ini. Apakah prosedur yang dijalankan bagi pelaksanaan program MyKiosk ini. Bermula daripada pemilihan reka bentuk, pemilihan penempatan kiosk, perlantikan kontraktor sehinggalah kepada pembayaran kepada kontraktor.
Perkara ini perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri bagi memberi jawapan yang menutup tanggapan liar yang dibuat oleh setengah-setengah pemimpin MCA terhadap inisiatif kerajaan persekutan dan kerajaan negeri. Tanggapan mereka yang berniat jahat ini adalah cubaan MCA di dalam memberi imej buruk terhadap inisiatif dan bentuk kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sekali gus ingin membentuk pandangan negatif rakyat terhadap agensi pelaksanaan iaitu PBT. Penggaram juga berharap kerajaan dapat menyatakan pendirian berkaitan program MyKiosk. Adakah ia satu inisiatif yang baik untuk negeri dan Bangsa Johor. Sehingga April 2025, Penggaram ingin mengetahui jumlah permohonan yang dibuat oleh peniaga di setiap PBT agar kita oleh mendapatkan gambaran adakah inisiatif ini mendapat sambutan dari kalangan penjaja atau tidak. Sehingga kini, berapa penjaja yang telah mula berpindah dan menjalankan perniagaan di kiosk-kiosk tersebut dan berapa banyak lagi kekosongan kiosk yang masih ada.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram walau bagaimanapun ingin mengutarakan beberapa perkara dan pandangan berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk ini. Seperti kesesuaian penempatan kiosk-kiosk ini. Pertama, soal penempatan kiosk dari segi gangguan dan keselamatan lalu lintas. Penggaram mendapati ada beberapa penempatan kiosk telah diletakkan di tempat yang tidak sesuai di mana ia mampu mengundang bahaya kepada orang awam termasuk pengguna jalan raya mahu pun pelanggan. Jika kita imbau kembali sebelum ini, beberapa PBT telah menjalankan pemutihan premis perniagaan di mana premis yang tidak mempunyai set-back telah dirobohkan kerana ia dilihat mampu menganggu lalu lintas dan mengundang bahaya di jalan raya. Malangnya aspek ini sepertinya tidak diambil kira di dalam pertimbangan penempatan kiosk. Ada kiosk yang didapati terlalu hampir dengan jalan-jalan utama.
Penggaram juga berharap kiosk-kiosk ini tidak ditempatkan di suatu kawasan hanya semata-mata untuk memberi kebenaran penjaja yang tidak mendapat lesen. Yang kedua, peniaga yang enggan berpindah masuk ke kiosk. Penggaram ini mengetahui apa langkah dan tindakan kerajaan sekiranya terdapat penjaja yang enggan berpindah masuk ke kiosk yang telah disediakan? Yang ketiga, penempatan kiosk di tempat strategik. Penggaram mencadang agar PBT terus memantau penempatan kiosk-kiosk ini. Sekiranya terdapat kiosk yang tidak disewa kerana peniaga berasakan tempat tersebut tidak strategik, ia perlu dipindahkan ke kawasan lain yang dikirakan lebih baik dan sesuai. Penempatan ini sekali gus dapat mengelakkan inisiatif yang baik ini bertukar menjadi projek gajah putih seperti yang dirisaukan oleh orang ramai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Penggaram ingin menyentuh berkaitan pembangunan infrastruktur lalu lintas dan saliran. Terdapat projek-projek perumahan yang sedang rancak dijalankan di sekitar laluan FT005 – Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat. Sedia maklum, lalu lintas di laluan tersebut telah sedia kala sesak serta sering menghadapi banjir kilat apabila dituruni hujan lebat. Laluan di Jalan Tanjung Labuh ke arah bandar Batu Pahat yang sesak pada waktu pagi sejauh lebih 3 km bermula dari Taman Banang Jaya sehingga ke persimpangan Taman Kemajuan. Kesesakan ini akan semakin bertambah lagi apabila enam (6) projek pembangunan perumahan baru di sekitar jalan tersebut siap kelak. Apa yang dirisaukan rakyat, projek-projek ini sudah tentu melibatkan kerja-kerja tanah serta pemotongan pokok yang selama ini di kawasan-kawasan tersebut menjadi kawasan tadahan hujan. Saliran di sepanjang di Jalan Tanjung Labuh tidak sempurna dan tidak berupaya menampung air hujan yang turun dengan lebat. Air longkang di Jalan Tanjung Labuh sering melimpah dan membanjiri jalan raya yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi. Jika ditanya kepada JKR, mereka memaklumkan longkang JKR di tepi laluan ini hanya untuk menampung air yang berada di jalan raya sahaja. Hakikatnya saliran longkang yang sama inilah digunakan untuk menampung aliran air hujan serta kediaman taman-taman perumahan sedia ada. Pada 11 April lalu, banjir kilat telah melanda jalan tersebut dan laluan dari arah jalan ke bandar Batu Pahat telah terputus. Urusan harian rakyat terganggu hingga ada anak-anak yang hadir ke sekolah pada jam 9:00 pagi. Beberapa kenderaan didapati rosak, tersadai di tepi jalan akibat cubaan melintasi jalan ditenggelami air.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mengapa kerajaan tidak terlebih dahulu menyempurnakan fasiliti lalu lintas dan saliran sedia ada ini sebelum projek-projek perumahan ini dijalankan? Sampai bila rakyat perlu menghadapi perkara seperti ini? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak JKR, JPS dan PBT dalam usaha mengatasi masalah ini? Penggaram mengesa kerajaan menetapkan satu polisi atau langkah di mana kerajaan perlu memastikan agar kemudahan infrastruktur, lalu lintas dan saliran sedia ada di suatu tempat perlu dinaik taraf terlebih dahulu sebelum sesuatu projek pembangunan yang dijalankan. Langkah ini perlu sebagai jaminan kepada penduduk sedia ada di kawasan berhampiran projek agar tidak berasa terganggu dalam menjalankan urusan harian. Jika tidak boleh jadi garam, jangan jadi langau. Kita tidak boleh bagi rakyat senyuman, kita jangan bagi pening kepala di dalam menjalani urusan seharian mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum ini Penggaram pernah menulis surat kepada EXCO JKR untuk memohon pembukaan semula laluan antara Jalan Kampung Rahmat ke Taman Evergreen Heights. Perbincangan daripada semua pihak iaitu PBT, JKR, Pemaju dan juga ADUN Kawasan Senggarang serta penduduk yang diwakili Ketua Kampung telah diadakan dan ianya telah mendapat persetujuan semua pihak. Namun demikian, sehingga kini tiada sebarang tindakan dijalankan. Penutupan laluan tersebut telah memberi kesukaran kepada penduduk kampung berhampiran di dalam menjalankan rutin harian seperti penghantaran anak-anak mereka ke sekolah agama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kemajuan infrastruktur perlu dinikmati bersama. Apabila jalan tersebut ditutup, kesukaran yang dihadapi penduduk dan risiko yang dihadapi mereka tidak boleh dipandang remeh. Penggaram memohon kerajaan mengambil tanggungjawab dan mengambil berat tentang permohonan ini. Tanggungjawab ini tidak boleh diletak pada bahu pemaju semata-mata. Ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk membantu penduduk dan bukan menyusahkan mereka. Selain itu, apakah tindakan kerajaan negeri terhadap
kerosakan dua (2) jalan yang baharu siap dibina di Batu Pahat iaitu di Jalan Kampung Rahmat dan Jalan Parit Peserai-Parit Jalil. Kedua-dua jalan siap pada bulan Disember 2024. Malangnya kini dah berlubang-lubang. Keadaan jalan yang beralun mampu mengundangkan isu keselamatan pengguna jalan tersebut. Diharap jangan sampai berlaku kemalangan barulah tindakan ingin diambil.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram juga sering membangkitkan berkaitan masalah sistem pengaliran dan saliran serta lalu lintas di Kampung Parit Amat, Batu Pahat. Memang ada keperluan untuk kerajaan tersebut membangunkan kawasan perumahan. Tetapi setiap pembangunan rancangan perumahan kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan wajib mengambil kira pertambahan penduduk. Pertambahan penduduk sudah pasti akan memberi kesan terhadap kesesakan lalu lintas serta kesesuaian akses yang sedia ada perlu diambil kira. Penduduk taman perumahan dalam kampung turut menggunakan jalan kampung yang sedia ada. Penggaram di peringkat Mesyuarat JTPD pernah mencadangkan agar jalan kampung tersebut diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan agar segala kos penyelenggaraan diletak di bahu PBT dan bukan lagi pejabat daerah. Ia mengambil kira jumlah rumah yang bercukai pintu di kawasan tersebut serta jumlah pengguna laluan utama Kampung Parit Amat lebih tinggi daripada jumlah penduduk kampung. Malangnya perkara ini ditolak oleh PBT kerana saiz jalan tersebut tidak menepati spesifikasi jalan-jalan di bawah PBT. Jika inilah jawapannya, jika diikuti logik setiap perumahan yang didirikan di dalam kawasan kampung perlulah membuat laluan akses sendirian untuk ke jalan utama tanpa menganggu laluan jalan-jalan kampung sedia ada.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram juga sering mendapat aduan daripada penduduk taman-taman perumahan di dalam kampung berkaitan isu infrastruktur jalan-jalan kampung. Pertambahan penduduk serta pengguna jalan kampung sudah pasti memberi kesan kepada lalu lintas dan infrastruktur. Seperti sedia maklum, penduduk taman perumahan adalah pembayar cukai kepada PBT dan layak untuk mendapat fasiliti seperti laluan yang kondusif dan selamat. Oleh itu Penggaram berpendapat, tanggungjawab menyelenggara jalan-jalan dan parit-parit kampung dan infrastruktur lain sekiranya seperti landskap perlu diambil tanggungjawab bersama oleh PBT. Bukan semata-mata diletakkan di bahu pejabat daerah atau agensi lain sahaja. Penggaram berharap, apa yang berlaku kepada Kampung Parit Amat dan beberapa kampung lain seperti Kampung Solok Wan Moh di belakang BP Mall dijadikan pengajaran oleh PBT di dalam mempertimbangkan dan meluluskan pembangunan perumahan di dalam kawasan kampung. Bukan itu sahaja, mungkin kerana ini terdapat penduduk-penduduk di kampung yang membantah keras sebarang pembangunan perumahan di dalam kawasan kampung mereka. Penggaram menggesa kerajaan memandang serius tentang pembangunan taman-taman perumahan di dalam kawasan kampung agar jalan-jalan dan saliran di kampung tersebut sentiasa dinaik taraf sejajar dengan pembangunan perumahan yang dibina.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat tiang-tiang utiliti TM di Jalan Parit Ahmad yang berada di tebing parit. Lokasi tersebut telah menyukarkan kerja-kerja pembersihan parit yang dijalankan oleh pihak pengurusan kampung. Selain itu, ia memberi kesukaran kepada pihak lain untuk menjalankan kerja menaik taraf tebing parit. Hakisan tebing parit dan mendapan tanah yang kita maklum berlaku di Parit Ahmad telah mengakibatkan jalan tersebut patah dan keperluan untuk menaik taraf tebing-tebing parit tersebut. Bukan itu sahaja, terdapat tiang yang senget seperti menanti rebah dilihat mampu memberi bahaya kepada pengguna jalan tersebut. Adakah untuk setiap tiang TM yang ditanam di kawasan
rizab kerajaan di tepi-tepi parit dan jalan, kerajaan mengutip RM0.01 sen sewaan daripada mereka? Jika tidak, adalah tidak patut jika terdapat sebarang kerja penyelenggaraan atau naik taraf yang memerlukan pengalihan tiang, kos pengalihan tiang utiliti tersebut diletakkan di bawah tanggungjawab pihak lain. Penggaram berharap agar pihak TM menjalankan proses pengalihan tiang utiliti secara percuma bagi memastikan kerja penyelenggaraan atau menaik taraf di Jalan Parit Ahmad mudah dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ada menerima berberapa aduan berkaitan tuntutan bayaran dan caj penggunaan elektrik daripada pihak TNB kepada pemilik premis. Penggaram menyampaikan ketidakpuasan hati pemilik premis di mana pihak TNB meletakkan beban kecurian elektrik kepada mereka sedangkan kecurian tersebut dijalankan di luar premis dan dialih masuk ke dalam premis. Walaupun kedua-dua pihak maklum, kecurian tersebut dilakukan oleh penyewa bagi menjalankan aktiviti perdagangan bit coin dan laporan polis telah dibuat, namun tindakan tuntutan oleh TNB melalui wakil guaman tetap dijalankan tanpa menunggu siasatan pihak berkuasa. Penggaram berharap pihak TNB dapat menangguh tuntutan dan tindakan undang-undang bagi kes-kes seperti ini. Tidak adil apabila kecurian elektrik berlaku di luar premis, di mana ia adalah tanggungjawab pihak TNB untuk menjaga fasiliti milik mereka. Tetapi tanggungjawab kerugian diletak di bahu pemilik premis sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Penggaram ingin menyentuh beberapa perkara di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan pertukaran skim bantuan. Penggaram mencadangkan agar penerima skim bantuan yang layak secara automatik ditukarkan kepada skim warga emas apabila ia telah mencapai umur 60 tahun. Perkara ini secara tidak langsung dapat memudahkan golongan warga emas untuk urusan dokumentasi ketika pembaharuan permohonan serta kemaskini. Selain itu, Penggaram ingin menyentuh perihal akaun bank PDK yang masih dibekukan di mana ia melibatkan semua PDK di kawasan DUN. Semua Ahli Dewan maklum akaun-akaun yang telah dibekukan tersebut mempunyai sejumlah wang di mana ia boleh digunakan bagi pelbagai tujuan seperti kos operasi, menaik taraf fasiliti serta program. Sebelum ini beberapa sesi perbincangan mengenai penggunaan duit daripada akaun ini juga telah dijalankan tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan. Penggaram berharap agar kerajaan dapat melihat kembali perkara ini di mana ia dapat membantu pihak PDK di dalam menampung kos operasi serta menaik taraf fasiliti. Yang Berhormat Datuk Speaker..
Yang Berhormat, masa dah habis.
Sekian ucapan dari Penggaram. Akhir kata semoga Johor terus maju, pemimpin dan rakyatnya kekal makmur bermuafakat, muafakat ini berkat, Allah berkati Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Saya ingin memaklumkan kita ada pemerhati sebenarnya iaitu 40 orang pemerhati daripada DUN Kawasan Bekok. Ada? Dan 17 orang pemerhati daripada Kawasan DUN Gambir. Ini ketua-ketua kampung ni. Ok, terima kasih. Dijemput Yang Berhormat Bekok.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selamat pagi, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang dimuliakan. Pertamanya, saya merakamkan ucapan
terima kasih kepada Dewan yang mulia ini kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk memberi ucapan balas ke atas titah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor semasa titah pembukaan Sidang Dewan Negeri Johor pada 16 Mei yang lalu. Saya menyokong sepenuhnya atas titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor tentang beberapa perkara yang dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dalam titah Pembukaan Dewan Negeri Johor tempoh hari.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang mengetuai kepimpinan kerajaan negeri Johor yang telah berjaya membawa negeri Johor menuju ke arah negeri termaju di Malaysia dengan hasil pendapatan negeri Johor pada tahun 2024 meningkat kepada RM2.1 bilion dan terus meningkat pada suku pertama tahun 2025 sebanyak RM598 juta iaitu 29.84% lebih tinggi daripada yang telah disasarkan.
Sidang yang dimuliakan, tentunya Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak boleh menafikan bahawa Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor adalah satu pasukan yang sangat kuat bekerja untuk meningkatkan keupayaan ekonomi negeri Johor dan juga berusaha untuk memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat Johor dalam apa bentuk yang rakyat Johor perlukan. Sebagai contoh, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah hampir 100 kali turun padang ke dua (2) buah CIQ untuk melihat sendiri kelemahan pelaksanaan sistem shuttle, mencari jalan menyelesaikan masalah rezeki di negara jiran ke Singapura. Dan banyak lagi usaha yang dilakukan melalui portfolio EXCO Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan rakyat Johor menikmati keselesaan dalam apa juga urusan di jabatan-jabatan kerajaan mahu pun swasta. Ini belum lagi isu-isu yang dibawa sendiri oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat secara terus kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar untuk mencari jalan penyelesaian masalah rakyat. Saya menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor berkaitan usaha memaju ekonomi negeri Johor ke satu tahap yang sangat membanggakan khususnya kepada rakyat Bangsa Johor. Selain itu juga, usaha-usaha merancang hala tuju pendidikan negeri Johor, meningkatkan kemudahan asas untuk rakyat negeri Johor. Saya juga bangga dengan usaha kerajaan negeri terus memacu Johor bagi memerangi kemiskinan tegar rakyat di samping usaha untuk meningkatkan ekonomi dan kesihatan rakyat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pandangan Bekok usaha terbaik kerajaan negeri Johor lakukan dan memberikan impak yang tinggi di hati rakyat adalah usaha membina dan membanyakkan Rumah Mesra Rakyat di dalam negeri Johor. Di mana dalam Laporan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan KPI Pelaksanaan Projek Rumah PKPJ Tahun 2025 Quarter satu mengatakan bahawa sasaran pembinaan dari tahun 2022 hingga tahun 2025 adalah 21,085 unit iaitu bersamaan dengan 70.83% telah siap dibina berjumlah 16,844 unit iaitu bersamaan 56.15%. Daripada perangkaan ini dengan jelas bahawa, kerajaan negeri Johor sememangnya sangat komited untuk menyediakan Rumah Mampu Milik untuk rakyat Johor terutamanya yang dikategorikan sebagai B40 agar dapat memiliki rumah sendiri dan hidup sempurna bersama keluarga. Selain daripada itu juga, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor ada menggariskan dan menyentuh hala tuju kerajaan Johor seperti pembangunan sukan, usaha memberikan pendedahan ilmu yang lebih berkualiti kepada Johor Civil Service (JCS), penjagaan
kebersihan alam sekitar dan persekitaran kita bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan kehendak dan harapan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor untuk memastikan negeri Johor sentiasa berada di dalam kalangan yang bersih dan selesa, memerlukan satu pendekatan yang positif melibatkan perancangan, penjagaan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas bagi memastikan negeri Johor yang kita sayang ini sentiasa berada di dalam keadaan yang bersih dan selesa. Negeri Johor memerlukan pegawai-pegawai yang komited dalam menjalankan tugas dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi kepada amanah yang diberikan dan rasa kecintaan kepada negeri Johor untuk melahirkan negeri Johor yang bersih dan sejahtera untuk didiami. Sekali gus menjadikan negeri Johor negeri paling utama untuk dilawati oleh pelancong-pelancong di luar dan di dalam negeri.
Seperkara lagi, kerajaan negeri Johor perlu melaksanakan dan memberikan kuasa penuh kepada jabatan-jabatan yang berkenaan seperti Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas dalam menjaga alam sekitar negeri Johor dan kebersihan persekitaran. Kerajaan Negeri Johor juga perlu menetapkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar tanggungjawab memantau alam sekitar dan kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab utama. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan berkuasa atas kebersihan persekitaran dan alam sekitar bukan tanggungjawab ke-10 Pihak Berkuasa Tempatan. Ianya dijadikan tanggungjawab kedua atau ketiga selepas tanggungjawab kutip hasil PBT. Dengan pendekatan ini, Bekok yakin dan percaya bahawa Negeri Johor Darul Ta’zim akan menjadi sebuah negeri yang bersih, selesa, sejahtera untuk kediaman dan dikunjungi oleh pelancong.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pemerhatian Bekok mengenai isu alam sekitar dan kebersihan persekitaran bahawa rakyat negeri Johor masih belum mempunyai kesedaran budaya menjaga kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar. Masih ada budaya buang sampah dari kereta, buang sampah tidak ke dalam tong sampah yang disedia dan sebagainya. Perkara-perkara begini kerajaan negeri Johor perlu mengambil perhatian agar pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi mengatasi melalui program-program kesedaran sivik di semua peringkat negeri Johor. Dengan usaha yang bersepaduan dan drastik, maka hasrat untuk melihat negeri Johor berada di dalam persekitaran yang bersih dan alam sekitar berada di dalam keadaan memuaskan akan terlaksana.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di sini Bekok ingin mengambil kesempatan untuk membawa beberapa perkara permasalahan rakyat di dalam kawasan DUN Bekok yang perlu kerajaan Johor ambil maklum dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memberikan keyakinan kepada mereka yang kebanyakannya adalah penyokong-penyokong tegar kerajaan negeri Johor antara masyarakat Orang Asli Bekok:
Pertama, masalah permohonan jalan berhubung antara Perkampungan Orang Asli Lenek, Bekok ke Kampung Baru Sungai Karas, Labis. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, bahawa jarak antara Perkampungan Orang Asli Lenek, Bekok ke Kampung Baru Sungai Karas, Labis adalah sekitar 6 kilometer. Di mana jalan ini lebih berdekat berbanding jalan yang diguna selalu untuk berurusan seharian di Bandar Labis menggunakan laluan Jalan Bekok ke Labis melalui Jalan Utama Segamat - Yong Peng. Sekiranya jalan yang
dipinta oleh Masyarakat Orang Asli ini melalui jalan ke Kampung Baru Sungai Karas, Labis terlaksana ia juga boleh digunakan oleh penduduk-penduduk Melayu Kampung Panca Jaya, Bekok yang mempunyai penduduk sekitar 300 orang, manakala penduduk orang asli Kampung Lenek sekitar 250 orang. Oleh yang demikian, Bekok mengharapkan kerajaan negeri Johor dapat mengambil perhatian untuk memberikan keselesaan masyarakat melayu dan masyarakat orang asli untuk berurusan seharian di Bandar Labis.
Perkara kedua, untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa dalam perjumpaan dengan masyarakat orang asli di kawasan Bekok, mereka meluahkan hasrat berkaitan Rumah PRBOA yang telah diperuntukkan kepada mereka melalui JAKOA. Untuk masyarakat orang asli Bekok tidak mencukupi. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, kawasan Bekok mempunyai enam (6) buah perkampungan orang asli yang terdiri daripada Kampung Kudong, Kampung RPS Tembayan, Kampung Tamok, Kampung Kemidak, Kampung Senai dan Kampung Lenek, Bekok. Dalam isu ini, Bekok merayu kepada kerajaan negeri Johor melalui EXCO berkaitan agar dapat ditimbangkan sewajar suara Masyarakat orang asli khususnya masyarakat orang asli Bekok. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker bahawa saya selalu mendapat desakkan daripada Ketua Masyarakat Orang Asli Bekok agar dapat membawa suara masyarakat Orang Asli agar pihak kerajaan negeri Johor melalui JAKOA supaya kuota yang telah ditetapkan dapat ditambah bagi menampung keperluan serta jumlah permohonan yang telah mencecah 140 permohonan bagi DUN Bekok untuk duduk di rumah yang lebih selesa. Oleh yang demikian, Bekok mengharapkan agar kerajaan negeri Johor melalui JAKOA Negeri Johor dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya agar dapat membuat pertambahan kuota Rumah PRBOA sejumlah 10 unit rumah setiap tahun untuk masyarakat orang asli di kawasan Bekok.
Perkara ketiga, masalah pembinaan rumah mampu milik untuk semua golongan masyarakat di dalam DUN Bekok. Ini adalah masalah utama DUN Bekok yang saya ingin mendapatkan perhatian yang serius daripada kerajaan negeri Johor di mana ini adalah salah satu manifesto PRN Johor yang lepas semasa saya bertanding kerusi Ahli Dewan Negeri Johor yang lalu yang masih belum dapat dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan. Sebelum PRU 15 yang lalu, Syarikat SPNB ada membuat perancangan untuk membina Rumah Mesra Rakyat SPNB dan majlis pecah tanah dan pendaftaran untuk membeli telah dijalankan dan mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada masyarakat. Majlis pecah tanah serta akuan oleh Pengerusi SPNB ketika itu. Setelah kerajaan negeri Johor gagal mempertahankan kerajaan selepas PRU 14 maka projek yang direncanakan telah dibatal oleh SPNB waktu itu.
Maka, punahlah harapan rakyat Bekok dan sekitarnya untuk memilikan rumah sendiri yang terdiri daripada pekerja-pekerja estet, anak-anak muda dan golongan pemastautin yang tinggal di Chaah, Bekok dan sekitarnya. Bekok difahamkan bahawa, pihak kerajaan negeri Johor telah menerima bayaran penalti daripada SPNB yang tidak membina rumah kos rendah di projek SPNB tersebut dan bayaran tersebut digunakan untuk membeli tanah
AchilJaya Plantations Sdn. Bhd. untuk membina rumah PKPJ yang membolehkan Bangsa Johor membeli rumah di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, Bekok mengharapkan pihak kerajaan negeri Johor dapat menyegerakan dan memberi keutamaan Projek Perumahan PKPJ dibina di kawasan yang telah ditetapkan berdekatan dengan perkampungan Desa Temu Jodoh, Chaah. Hanya inilah sahaja harapan rakyat di dalam kawasan DUN Bekok untuk memiliki rumah sendiri yang diimpi-impikan oleh mereka semua sekali gus melunaskan janji-janji Pilihan Raya Negeri Johor bagi DUN Bekok yang lalu. Perhatian dan keutamaan Kerajaan Negeri Johor dalam melaksanakan projek perumahan rakyat ini, Bekok ucapkan jutaan terima kasih. Perkara keempat, isu gajah yang telah keluar dari habitatnya dan menganggu kehidupan manusia dan petani-petani di kawasan Bekok. Yang Berhormat Datuk Speaker, beberapa bulan yang lalu terdapat tiga (3) kumpulan gajah-gajah liar telah memasuki kawasan-kawasan perkampungan, kebun dan jalan dengan jumlah gajah agak banyak sehingga mencecah belasan ekor. Saya pun menjadi hairan kenapa fenomena ini sering berlaku dewasa ini. Adakah kumpulan gajah liar mula terancam kehidupan di hutan rimba atau pun gajah-gajah luar mula berminat untuk menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan atau dibina oleh Kerajaan Negeri Johor yang ada di kampung-kampung, pinggir hutan. Maaf, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bergurau aje. Oleh yang demikian, saya mengharapkan kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Perhilitan dapat mengkaji dan mengenal pasti apakah sebab gajah-gajah liar mulai keluar dari habitatnya di dalam hutan. Semoga pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat bertindak supaya isu ini tidak akan mendatangkan bahaya kepada rakyat Johor yang tinggal dan mengusahakan tanaman-tanaman kawasan berhampiran hutan. Perkara kelima, saya dimaklumkan bahawa ada posting di akhbar dan di dalam Facebook mengatakan bahawa bandar Labis perlu dikuatkuasa bayaran meletak kenderaan. Pada hemat Bekok keadaan di bandar Labis masih tidak sesuai bagi dikuatkuasakan bayaran meletak kenderaan kerana bandar Labis adalah sebuah bandar kecil dan golongan yang menggunakan parking kenderaan tidak ramai dan kebanyakannya menggunakan motosikal untuk berurusan di bandar Labis. Apalah lagi keadaan ekonomi negara yang tak stabil, amat tidak bersesuaian bayaran parking dikenakan pada penduduk di Labis. Dan perkara yang terakhir, pelaksanaan projek landasan keretapi berkembar di kawasan Labis dan Bekok. Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat di dalam Parlimen Labis khususnya di DUN Bekok mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan khususnya Kerajaan Persekutuan yang telah melibatkan Labis dan Bekok untuk menikmati kemudahan sistem pengangkutan yang canggih, selesa dan efisien untuk kami. Dengan adanya sistem pengangkutan awam yang melalui kawasan kami, maka ianya amat memudahkan untuk kami berurusan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Namun, ada sebahagian daripada masyarakat di kawasan terlibat projek di Labis dan Bekok terkesan dengan masalah-masalah banjir kilat dan sebagainya. Namun, apa yang Bekok nak sampaikan di sini adalah peranan serta panduan yang dimainkan oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan Johor di daerah Segamat seperti Pegawai Daerah Segamat, Pentadbiran Tanah Daerah, Jurutera JKR Daerah, Jurutera JPS Daerah, Yang Dipertua Majlis Daerah Labis bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul kepada sebahagian masyarakat yang terkesan akibat projek mega tersebut.Banyak memberi khidmat nasihat serta menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat seperti banjir kilat di
Jalan Yong Peng - Labis. Banjir kilat di SRJK (T) Labis, jalan rosak ke Ladang Chan Wing, Bekok dan masalah pekebun kecil tiada jalan untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka. Saya secara peribadi merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pegawai-pegawai yang terlibat bagi memberi khidmat nasihat kepada saya untuk menyelesaikan aduan-aduan daripada rakyat berkaitan Projek Landasan Keretapi Berkembar ETS Gemas ke Johor Bahru. Khususnya ucapan terima kasih saya hulurkan kepada mantan Jurutera JKR Daerah Segamat, yang telah bertukar ke ibu pejabat JKR Labuan, Sabah iaitu Puan Ir. Ts. Nor Salehen kerana beliaulah yang banyak membantu memberi khidmat nasihat berkaitan teknikal. Itulah contoh seorang pegawai kerajaan yang baik dan ikhlas dalam perkhidmatan akan diberikan ganjaran terbaik dari Allah tanpa kita duga untuk perkhidmatan dan keluarganya. Sekian terima kasih, Bekok mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Bekok, gajah dia makan durian tak. Yang Berhormat kan banyak durian, bagilah dia makan durian. Tengok dia datang balik ke tidak. Saya jemput Yang Berhormat Bentayan, sebab Bukit Batu dia minta ganti dengan Bentayan. Saya jemput Bentayan. 20 minit Yang Berhormat.
Selamat pagi, selamat tengh hari, salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan untuk Menjunjung Kasih Titah perasmian Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Bentayan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku kerana sudi menyampaikan titah Baginda kepada Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa ini ekonomi global sedang berdepan dengan cabaran yang amat membimbangkan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu pelaksanaan dasar tarif baru oleh Amerika Syarikat yang telah menjadi satu faktor utama yang mengubah lanskap perdagangan dunia. Dasar ini bukan sahaja mengganggu rantaian bekalan global malah turut memberi turut kesan negatif kepada negara-negara yang berorientasikan eksport bagi Malaysia. Golongan yang paling terkesan ialah perusahaan kecil dan sederhana PKS, terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam perdagangan antarabangsa. Kenaikan tarif akan menyebabkan peningkatan kos import dan eksport. Beban kos yang lebih tinggi ini akan menjejaskan daya saing antarabangsa kita. Dan seterusnya menjejaskan keyakinan pelaburan serta jaminan pekerjaan dalam sektor PKS. Lebih membimbangkan perbezaan struktur tarif antara Malaysia dengan beberapa negara lain berpotensi untuk mencantumkan fenomena peralihan aliran perdagangan atau penjenamaan semula negara asas produk. Perkara ini bukan sahaja mengganggukan kestabilan pasaran malah boleh menjejaskan reputasi dan kepentingan jangka panjang negara. Oleh itu, dalam situasi persaingan pelaburan asing yang sengit di peringkat global, Bentayan menyeru agar kerajaan negeri Johor lebih berhati-hati dalam menarik pelaburan asing untuk memastikan bahawa syarikat tempatan bukan sahaja tidak terpinggir malah turut dapat meraih manfaat melalui permintaan teknologi, integrasi rantaian bekalan mahupun kerjasama strategik. Bentayan juga mengalu-alukan permohonan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Parlimen baru-baru ini berkenan beberapa inisiatif bantuan.
Pertambahan peruntukan jaminan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta menerusi Institut Perdagangan Kewangan (EFI) khususnya untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat. Dan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada MATRADE bagi mempercepatkan usaha menembusi pasaran baru. Langkah-langkah ini amat penting untuk menyokong PKS negara kita. Dalam masa yang sama kerajaan negeri Johor telah mencatat hasil kewangan yang tinggi dalam dua (2) tahun kebelakangan ini. Hasil ini adalah usaha bersama rakyat dan committee perniagaan. Maka Bentayan turut menyeru agar kerajaan negeri mencontohi kerajaan pusat dengan menambah peruntukan bantuan kepada PKS negeri Johor yang terkesan sama ada dalam bentuk kemudahan pembayaran atau pun sokongan untuk meneroka pasaran baru. Yang Berhormat Datuk Speaker, polisi tarif tinggi yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan pasaran eksport negara malah berpotensi memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi domestik dan seterusnya menjejaskan kehidupan rakyat secara keseluruhan. Tarif yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan kos operasi syarikat tempatan dan mengurangkan tambahan. Yang akhirnya menjadi faktor utama kenaikan harga barangan dan meningkatkan risiko pengangguran. Kos sara hidup yang semakin tinggi terus menjadi isu utama yang paling membimbangkan rakyat.
Dalam hal ini, Bentayan ingin menyambut baik usaha proaktif kerajaan negeri Johor sejak kebelakangan ini. Bagi meringankan beban sara hidup rakyat kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Jualah Kasih Johor, Bakul Kasih Johor, Dapur Kasih dan lain-lain inisiatif. Inisiatif yang berpaksikan rakyat ini benar-benar membawa sinar harapan kepada ramai keluarga yang terpinggir dan sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga. Namun, dengan kenaikan kos sara hidup yang masih berterusan kita mesti terus menambah baik mekanisme bantuan agar manfaatnya lebih menyeluruh terutama kepada golongan M40 yang sering kita terlepas pandang.
Oleh itu, Bentayan mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan satu lagi inisiatif baru dalam bentuk baucar tunai. Melalui program ini, golongan M40 dan B40 boleh menggunakan baucar tersebut untuk membeli barangan keperluan harian dan makanan di kedai runcit, pasar, pusat penjaja dan kedai kopi. Lebih penting lagi, program ini memerlukan penglibatan daripada peniaga kecil dan penjaja tempatan sebagai rakan strategik. Langkah ini bukan sahaja dapat membantu rakyat untuk menjimatkan perbelanjaan harian malah turut merancakkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan para peniaga kecil. Langkah ini boleh diangkat sebagai serampang dua mata iaitu membantu rakyat. Dalam masa yang sama memperkasakan ekonomi mikro tempatan, satu strategi menang-menang yang amat berkesan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila menyebutkan tentang Muar pasti akan terlintas di fikiran ramai tentang bandar perabot. Kerana industri perabot merupakan salah satu industri penting di Muar. Namun begitu, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa daerah Muar juga merupakan daerah penting bagi industri lanskap. Menurut data, Journal Export Landscape di Johor adalah seperti berikut:
1. Tahun 2021 - RM156 juta. 2. Tahun 2022 - RM138 juta. 3. Tahun 2023 - RM204 juta.
Jumlah keseluruhan eksport bagi tiga (3) tahun ini hampir mencecah RM500 juta. Dan lebih daripada 80% daripadanya datang dari daerah Muar. Ini jelas menunjukkan bahawa industri lanskap memainkan peranan penting dalam struktur ekonomi daerah Muar. Oleh itu, kita harus memberi perhatian dan menggalakkan pembangunan industri lanskap agar daerah Muar bukan sahaja dikenali sebagai bandar perabot malah menjadi pusat lanskap di negeri Johor bakal menembusi pasaran antarabangsa.
Untuk memajukan daerah Muar sebagai pusat lanskap, kita memerlukan strategi menyeluruh bagi merangkumi bidang pertanian, pelancongan, promosi pasaran dan sokongan dasar kerajaan. Lima (5) strategi utama membina Muar sebagai pusat lanskap:-
Pertama: Membangunkan Industri Penanaman Lanskap. Kita perlu memberikan keutamaan kepada penanaman jenis bunga yang sesuai dengan iklim tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada benih-benih import dan meningkatkan daya saing variety tempatan dan dalam masa yang sama kita harus memperkenalkan teknologi pertanian moden seperti sistem pengaliran automatik dan kawalan suhu pintas untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menjadikan penanaman bunga di daerah Muar lebih profesional dan berskala besar. Kedua: Membangunkan Jenama Bunga Khas Muar. Kekuatan jenama tidak boleh dipandang ringan. Kita perlu mencipta dan memperkenalkan jenama bunga yang mempunyai identiti tersendiri dari daerah Muar bagi meningkatkan kebolehpasaran produk. Sebagai contoh, kita boleh memperkenalkan persijilan bunga premiers Muar agar pengguna dapat mengenali kualiti bunga daerah Muar hanya dengan melihat jenama tersebut. Kita juga boleh menganjurkan pameran lanskap antarabangsa dengan mengundangkan peminat-peminat bunga dari dalam dan luar negara. Agar bunga dari daerah Muar ini dapat menembusi pasaran lebih luas di samping itu, kita perlu mempergiatkan usaha jualan dalam talian melalui platform e-Dagang untuk memasarkan bunga Muar ke pasaran tempatan dan juga ke luar negara.
Ketiga: Menggabungkan Pelancongan dan Ekonomi Lanskap. Pelancongan moden bukan sekadar menikmati pemandangan indah tetapi juga menjanjikan pengalaman yang unik dan sukar dilupakan. Cadangan Bentayan adalah untuk membina taman lanskap pelancongan di daerah Muar yang mana pelancong boleh berjalan dalam lautan bunga yang indah, menjadi tempat ini sebagai lokasi tarikan pelancong yang baru. Selain itu, kita boleh menyediakan lokasi penggambaran perkahwinan dalam taman lanskap dan menarik pasangan untuk bergambar dalam suasana yang romantik. Kita juga boleh menganjurkan pelbagai acara seperti karnival bunga, bengkel hortikultur dengan izin di taman lanskap bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pencinta nilai ekonomi baru.
Keempat: Menggalakkan Penyelidikan dan Inovasi. Untuk menjadikan industri lanskap Muar lebih berdaya saing kita perlu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Pertanian dan institut penyelidikan dalam membangunkan variety baru yang lebih tahan cuaca, lebih menarik dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Sekiranya Muar berjaya menghasilkan variety bunga unik dan mempromosikannya di pasaran antarabangsa seperti tulip daripada
Belanda atau sakura dari Jepun. Maka, bunga dari daerah Muar juga berpotensi menjadi jenama terkenal di dunia. Kelima: Sokongan Dasar Kerajaan. Sokongan dasar kerajaan adalah pemacu penting kepada pembangunan industri ini. Tanpa sokongan dan penglibatan kerajaan strategi-strategi yang disebutkan di atas agak sukar dilaksanakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan kemajuan dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan. Jangka hayat usia manusia semakin panjang. Malaysia ketika ini sedang bergerak ke arah masyarakat yang semakin menua. Dalam menghadapi realiti ini, persoalan besar yang perlu ditangani ialah bagaimana kita dapat memastikan warga emas dapat turut sama menikmati manfaat dunia digital. Teknologi kini telah mengubah cara hidup kita, daripada komunikasi, kewangan, penjagaan kesihatan hingga ke urusan harian seperti membeli-belah. Namun, sekiranya kemudahan ini tidak dapat diakses oleh golongan warga emas, jurang digital akan semakin melebar dan mereka berisiko menjadikan kumpulan yang terpinggir secara teknologi. Jadi, warga emas sendiri, pihak swasta dan pihak kerajaan memainkan peranan atau tanggungjawab sendiri yang penting:
Pertama: Peranan Warga Emas. Ubah persepsi belajar sepanjang hayat. Ramai warga emas masih berasa takut atau ragu-ragu untuk menggunakan teknologi kerana bimbang melakukan kesilapan, tertipu atau merasa diri sudah terlambat untuk belajar. Hakikatnya, tiada apa yang mustahil sekiranya mereka sanggup dan tidak malu untuk mencuba. Langkah pertama adalah mengubah minda. Warga emas perlu percaya bahawa ilmu tidak mengenal usia dan berani mengambil langkah pertama dengan bimbingan ahli keluarga, rakan-rakan atau komuniti setempat untuk mengenali serta menikmati faedah teknologi.
Kedua: Peranan Sektor Swasta. Reka bentuk mesra bantuan teknikal. Syarikat-syarikat teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan penyertaan digital yang inklusif. Selain membangunkan produk canggih, mereka juga perlu memastikan antara user interface dengan izin, mudah digunakan. Contohnya, reka bentuk yang ringkas, saiz tulisan yang besar, fungsi bantuan suara dan navigasi yang jelas. Syarikat juga digalakkan mengadakan bengkel teknologi di pusat-pusat komuniti atau di pusat membeli-belah untuk memberikan sokongan secara langsung kepada warga emas yang memerlukan bimbingan.
Ketiga: Peranan Kerajaan. Polisi yang inklusif, sokongan, peralihan. Dalam melaksana dasar digital seperti perkhidmatan kerajaan dalam talian atau transaksi tanpa tunai, kerajaan perlu memastikan warga emas tidak terpinggir. Berikut adalah antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan:
1. Strategi Inklusif Digital. Kerjasama antara kerajaan tempatan, JPKK, pusat nadi dan NGO bagi melaksanakan Program Latihan Digital Khas Untuk Warga Emas di pusat komuniti. Contohnya kelas digital warga emas yang merangkumi kemahiran asas seperti menggunakan telefon pintar, carian maklumat, pendaftaran, janji temu dalam talian dan penggunaan dompet elektronik.
2. Sokongan Di Peringkat Komuniti. Mewujudkan sudut sokongan digital di pejabat jabatan atau agensi kerajaan, pasar raya atau pusat komuniti dengan kehadiran sukarelawan untuk membantu warga emas menyelesaikan masalah digital harian.
3. Tempoh Peralihan Lebih Panjang. Memberikan tempoh penyesuaian yang lebih panjang serta pelaksanaan yang lebih fleksibel dan berperikemanusiaan kepada warga emas apabila dasar digital baru diperkenalkan. Teknologi sebagai jabatan menyatupadu, maka membantu warga emas menyertai dunia digital bukan sekadar satu cabaran tetapi satu peluang untuk membina syarikat yang lebih inklusif dan sejahtera. Teknologi tidak seharusnya menjadi penghalang sebaliknya harus menjadikan jabatan yang merapatkan jurang generasi, geografi dan perkhidmatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan pelaksanaan aplikasi Parkmax@Johor oleh tujuh (7) PBT di Johor, kita menyambut baik kemudahan yang dibawa oleh teknologi dan memahami usaha kerajaan dalam menolong ke arah transformasi pendigitalan. Namun begitu dalam proses pelaksanaan ini, kita tidak boleh mengabaikan kesukaran sebenar yang dihadapi oleh golongan warga emas.
Bentayan menerima banyak maklum balas daripada warga emas yang masih belum mahir menggunakan aplikasi berkaitan menyebabkan mereka kerap disaman kerana tidak tahu atau tersilap dalam proses pembayaran. Keadaan ini bukan sahaja menambah beban kewangan, malah membuat mereka rasa takut untuk keluar rumah.
Oleh itu, Bentayan ingin mengambilkan peluang ini untuk mencadangkan supaya dapat diperkenalkan pakej pas bulanan khas untuk warga emas. Pas bulanan biasa yang dianggap membebankan bagi kebanyakan warga emas yang kurang berkemampuan sebab mereka jarang keluar rumah. PBT boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan pakej khas dengan diskaun 50 hingga 60% kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban mereka, malah menjadi satu bentuk penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat selama ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya semoga semua cadangan atau isu yang dibangkitkan di atas daripada Bentayan akan diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri Johor. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Bentayan. Saya jemput Parit Yaani.
Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera. Salam Maju Johor. Parit Yaani ingin memulakan sesi perbahasan pada hari ini dengan menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya pada pagi ini dapat diberi peluang sekali lagi untuk mewakili Parit Yaani dalam sesi perbahasan kali ini. Parit Yaani juga ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas perkenan berangkat ke Dewan yang mulia ini seterusnya merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemajuan Bangsa Johor, titah Tunku yang menekankan empat (4) keutamaan negeri Johor iaitu pelaburan Johor seperti Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ), pendidikan inklusif dan pembangunan sosial, perumahan mampu milik dan pembangunan infrastruktur rakyat, kualiti hidup dan kesihatan yang menyeluruh adalah panduan yang amat bernas dan berpandangan jauh dalam memastikan pembangunan
Johor yang seimbang, mampan serta inklusif. Sesungguhnya segala titah, nasihat dan pandangan yang dizahirkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Pemangku Sultan Johor merupakan manifestasi kasih dan kepedulian terhadap kesejahteraan Bangsa Johor demi memastikan negeri ini terus makmur, berdaya saing dan berdaya tahan. Penghargaan tahniah dan terima kasih juga tidak dilupakan buat Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor yang sangat komited dalam menjayakan Agenda Maju Johor dengan semangat semarak Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Orang Muda Johor merupakan aset negeri yang berpotensi dalam memacu kemajuan negeri Johor. Mereka berperanan sebagai pemimpin masa depan, penggerak ekonomi dan agen perubahan dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknologi, pendidikan, keusahawanan dan sukan. Kerajaan Negeri Johor telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Sukarelawan Johor (SV), Johor Skills dan Dewan Muda Johor bagi memperkasa peranan Orang Muda Johor atau pun belia. Justeru itu, Parit Yaani mencadangkan agar usaha ini diteruskan dan diperluaskan dengan mewujudkan penggerak di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi memperkasa Orang Muda Johor di peringkat akar umbi termasuklah dalam bidang ekonomi, digital, inovasi dan kesukarelawanan agar mereka terus menyumbang kepada kemajuan negeri Johor secara total dan berkesan. Ia juga diharapkan dapat membantu memperkasakan lagi Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor dalam pelaksanaan aktiviti khususnya untuk orang muda di kawasan masing-masing.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor terus memperkukuh bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan modal insan dan ekonomi berkemahiran tinggi. Penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pada 4 November yang lalu merupakan langkah strategik ke arah penyelarasan pembangunan bakat dan kemahiran selari dengan keperluan industri. Melalui perancangan strategik JTDC ini, pelbagai program latihan teknikal dan profesional telah dilaksanakan meliputi bidang seperti automasi industri, mekatronik, teknologi hijau, robotik, teknologi maklumat serta kecerdasan buatan. Majlis TVET Kebangsaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan melantik Penyelaras TVET di setiap parlimen. Di Johor seramai 52 orang Penyelaras TVET Parlimen ini telah dilantik bagi mempertingkat pelaksanaan dan penyelarasan dasar TVET di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, Parit Yaani mencadangkan agar usaha memperkasa TVET turut diperhebat di kawasan luar bandar khususnya di DUN Parit Yaani melalui penambahan pusat latihan, kerjasama dengan industri serta promosi peluang kerjaya TVET kepada belia tempatan. Ini penting bagi memastikan pembangunan modal insan yang seimbang dan inklusif di seluruh negeri selaras dengan penubuhan JTDC yang mensasarkan gaji minimum di negeri Johor RM4,000.00 hingga RM5,000.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terus saya ke arah apa ni isu-isu di peringkat kawasan Parit Yaani. Dalam tempoh tiga (3) tahun ini Yang Berhormat Datuk Speaker, alhamdulillah Parit Yaani telah berjaya menyelesaikan beberapa isu projek sakit yang telah lama terbengkalai membebankan rakyat di kawasan DUN Parit Yaani. Di antaranya ialah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Jaya di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia yang sekelian lama tertangguh tetapi kini berjaya disambung semula dan bakal siap tak lama lagi dan insya-Allah sesi pembelajaran penuh akan bermula pada
Januari 2026 nanti. Dan ianya dijangka dapat menampung seramai 1,200 orang murid daripada sekitar kawasan Parit Yaani, Sri Medan dan juga Yong Peng. Selain itu, Projek Jalan Alternatif Jalan Parit Jalil ke Peserai yang melibatkan kerjasama KKDW dan JKR turut berjaya diangkat semula sebagai keutamaan dan berjaya disiapkan. Laluan ini memudahkan pergerakan rakyat setempat dan merangsang pembangunan luar bandar serta ekonomi. Ini membuktikan bahawa dengan komitmen yang tinggi setiap keperluan rakyat serta janji dapat ditunaikan demi keselesaan dan masa depan bersama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, peningkatan kemudahan infrastruktur di DUN Parit Yaani terus diberi perhatian melalui beberapa projek strategik yang dilaksanakan secara berperingkat. Antara projek utama yang telah dilaksanakan termasuklah kerja-kerja naik taraf Pasar Awam Tongkang Pechah, kerja-kerja menaik taraf Arena Niaga Parit Yaani. Kedua-dua ini di antara Majlis Perbandaran Batu Pahat dan juga Majlis Daerah Yong Peng, sekali gus memberi suntikan baharu kepada aktiviti ekonomi komuniti setempat. Satu lagi, Kompleks Penghulu Mukim 6 juga telah dinaik taraf di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Ianya bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kami dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang seimbang, mampan dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Selain itu, projek naik taraf Dewan Orang Ramai Tongkang Pechah di kawasan Majlis Perbandaran Tongkang Pechah dan di Dewan Orang Ramai Parit Yaani oleh Majlis Daerah Yong Peng serta projek naik taraf padang awam di kedua-dua kawasan tersebut telah dilaksanakan. Ini telah memberikan kemudahan yang lebih baik untuk aktiviti ekonomi dan rekreasi sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat serta memperkukuh pembangunan sosial, ekonomi kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat juga cadangan dan keperluan baharu bagi pembinaan dewan orang ramai di kawasan Beroleh iaitu di Parit Besar. Kawasan ini mempunyai penduduk yang ramai. Keperluan dewan orang ramai ini sangat mendesak dengan adanya dewan ini masyarakat setempat tidak perlu lagi menyewa premis luar kawasan yang jauh untuk menjalankan sebarang program serta dewan ini boleh dijadikan Pusat Pemindahan Banjir Sementara (PPS) kerana kawasan ini sering terjejas dengan banjir kilat bila pertembungan air pasang besar. Oleh itu, Parit Yaani mencadangkan agar Dewan Orang Ramai Beroleh di Parit Besar ini dapat dibina.
Yang Berhormat Datuk Speaker, beberapa fasiliti kesihatan juga telah dinaik taraf di kawasan DUN Parit Yaani. Di antaranya adalah Klinik Kesihatan Tongkang Pechah, Klinik Kesihatan Parit Yaani, Klinik Desa Beroleh, Klinik Desa Parit Belemam dan Parit Yob di mana kerja-kerja menaik taraf telah berjaya diselesaikan dan klinik-klinik ini mampu memberi perkhidmatan kesihatan asas dengan lebih baik terutamanya bagi penduduk luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada fasiliti kesihatan di peringkat komuniti. Namun begitu, Parit Yaani ingin mencadangkan agar pihak kementerian terus memantau penyelenggaraan kemudahan-kemudahan ini secara berkala agar mutu perkhidmatan tidak menurun dan selain itu penambahan tenaga kerja seperti jururawat, pembantu perubatan dan pegawai kesihatan juga wajar dipertimbangkan memandangkan bilangan pesakit harian yang masih tinggi. Untuk makluman, Parit Yaani juga ingin memohon bagi menaik taraf beberapa lagi klinik desa yang masih uzur di antaranya adalah Klinik Desa Bindu di Mukim 6, Linau dan Klinik Desa Kampung Bahru di Mukim 7, Tanjung Sembrong. Saya percaya
dengan kesinambungan sokongan dan perhatian berterusan daripada pihak kerajaan, kita mampu memastikan sistem penjagaan kesihatan di luar bandar setanding dengan kawasan bandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, projek pembinaan baharu juga telah dilaksanakan di Parit Yaani termasuk mercu tanda baharu di Tongkang Pechah dan juga mercu tanda baharu di Pekan Parit Yaani. Terdapat juga cadangan serta keperluan telah dikemukakan bagi pembinaan mercu tanda baharu bagi kawasan Beroleh. Justeru itu, Parit Yaani mencadangkan agar sebuah mercu tanda baharu turut dibina di kawasan Beroleh di bawah seliaan Majlis Perbandaran Batu Pahat sebagai simbol identiti setempat dan usaha memperkukuh imej kawasan berkenaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi projek JENDELA di bawah Suruhanjaya Komunikasi Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang telah dilaksanakan di kawasan Parit Yaani. Projek ini merangkumi pembinaan menara telekomunikasi di Parit Jambi dan Parit Senah yang bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur komunikasi dan memperluas capaian internet di kawasan tersebut sekali gus meningkatkan teknologi untuk kesejahteraan masyarakat setempat. Di Parit Yaani pun sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker, kita pun ada inisiatif sendiri iaitu membangunkan hotspot Wi-Fi atau pun Free Wi-Fi Najib Samuri ada 10 tempat setakat ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, telah juga diwujudkan atau pun dibangunkan Pejabat Unit Pertahanan Awam (UPA) Parit Yaani yang diwujudkan di Kompleks Penghulu Mukim 6 Linau bersama-sama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dilaksanakan oleh MCMC di kawasan yang sama. Kemudahan ini bakal memberi sumbangan besar dalam memperkasa pembangunan komuniti setempat dengan menyedia kemudahan latihan, sokongan perniagaan serta peningkatan capaian teknologi untuk kesejahteraan penduduk. Untuk makluman juga, terdapat beberapa pembangunan projek yang sedang dilaksanakan di kawasan Tongkang Pechah dan Beroleh oleh pelbagai lagi kementerian serta agensi pelaksana. Antaranya JKR yang sedang menaik taraf persimpangan lampu isyarat Kampung Bindu, yang ini projek JKR negeri Johor bernilai sebanyak RM5,000,000.00. Yang keduanya, Projek Tebatan Banjir Parit Besar iaitu kerja-kerja menaik taraf saliran Parit Besar di mukim Simpang Kanan Daerah Batu Pahat sebanyak RM4,000,000.00. Dan yang terbesar adalah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batu Pahat, ini menelan kos RM195,000,000.00.
Seterusnya, Parit Yaani juga sedang dalam pelaksanaan untuk membina atau pun membangunkan Masjid Bandar Putra Indah di Tongkang Pechah. Yang ini juga perlu disegerakan pelaksanaannya. Projek ini bagi menyedia kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada penduduk khususnya beragama Islam yang semakin meningkat di kawasan tersebut. Proses hak milik tanah seluas lima (5) ekar telah pun selesai dan kebenaran mengutip derma atau pun dana bagi proses itu telah pun berjalan. Tinggal lagi saya mohon bantuan daripada pihak kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat untuk bersama-sama menyalurkan peruntukan bagi menjayakan pembinaan masjid baharu tersebut.
Di samping itu, projek membina atau pun mewujudkan Kompleks Tabika Taska KEMAS (KOMTAR) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga dalam proses permohonan. Terdapat tanah rizab seluas tiga (3) ekar yang sesuai dan rekod Bandar Putra Indah, Tongkang Pechah ini telah dibangunkan pada tahun 1998 dan ianya meliputi
kawasan seluas 1,288 ekar dan menampung sehingga 10,682 unit kediaman. Semoga pembinaan KOMTAR ini disenaraikan dalam projek pembangunan baharu Rolling Plan 1 atau pun Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-13.
Dan akhir sekali, projek Sekolah Kebangsaan Bandar Putra Indah juga di Tongkang Pechah bakal dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan projek ini telah mendapat kelulusan Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia tempoh hari dan pelaksanaan projek ini adalah sebagai langkah memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan ini. Antara projek lain yang sedang atau pun turut dilaksanakan adalah Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Bandar Putra Indah kawasan DUN Parit Yaani dan sejumlah 386 buah rumah bakal dibangunkan. Dan rumah yang telah siap dibina sebanyak 185 buah manakala baki 201 buah lagi sedang dalam proses pembinaan. Dan pembinaan projek Rumah Mampu Milik Johor ini turut menjadi bukti nyata komitmen kerajaan negeri dalam menyedia perumahan mampu milik khususnya di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan DUN Parit Yaani. Projek perumahan ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebelum saya akhiri ucapan saya ini, ingin saya menutup dengan serangkap atau pun dua rangkap pantunlah. Tapi boleh baca, tak hafal. Laut tenang nelayan berani, turun sauh di Parit Yaani; bicara tamat niat murni, rakyat dijaga negeri harmoni. Satu lagi, berjalan tenang di pagi hari, singgah sebentar di Parit Yaani; bicara disusun penuh bererti, agar Johor terus disegani. (Dewan bertepuk). Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Parit Yaani menyokong.
Terima kasih Parit Yaani. Ahli-Ahli Yang Berhormat oleh kerana pemerhati daripada Gambir ada dalam ni, jadi saya tak sampai hati dengan YB Gambir ni nanti dia hilang sokongan pulak kan. Jadi, saya benarkan satu lagi pembahas. Saya jemput Yang Berhormat Gambir.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum waramatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terlebih dahulu Gambir mengucapkan jutaan terima kasih atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Yang Berhormat Speaker untuk berbahas pada tengahari yang berbahagia ini. Patik merafak sembah, menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan Persidangan pada kali ini. Gambir juga mengalu-alukan kehadiran pemerhati dari DUN Gambir yang hadir ke Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dua tiga kucing berlari, berlari sampai ke negeri China; kekalkan muafakat hidup berharmoni, moga Maju Johor kita dukung kita sokong bersama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kestabilan masa depan ungkapan keramat yang telah menghadirkan kemenangan besar Barisan Nasional dalam Pilihan raya negeri Johor pada 2022 dulu. Frasa ungkapan ini benar-benar terpasak di benak fikiran rakyat. Benar-benar tersemat di hati sanubari rakyat sehingga mereka telah memberikan undi dan sekali gus memberikan kemenangan kepada 40 kerusi Barisan Nasional.
Yang Berhormat Datuk Speaker, persoalannya apakah kerajaan negeri pada hari ini leka dengan kemenangan tersebut? Apakah kita masih terbuai keseronokkan meraikan kemenangan tersebut? Sebuah kerajaan yang benar-benar stabil telah dihadiahkan oleh rakyat. Apakah natijah dari sokongan dan kemenangan tersebut? Bukankah ia jelas. Sebagai satu manifestasi bahawa rakyat menolak permainan politik sepanjang masa. Rakyat membenci ketidakstabilan kepimpinan yang menyebabkan kerajaan hilang fokus malah ia adalah satu petunjuk bahawa rakyat benar-benar ingin sebuah kerajaan yang stabil yang diharap dapat terus memacu kemajuan dan pembangunan negeri sekali gus dalam masa yang sama mengutamakan pembelaan kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ternyata kerajaan Barisan Nasional yang pada hari ini ditunjangi oleh Yang Amat Berhormat Machap benar-benar menerima kemenangan ini dengan penuh keinsafan bahawa negeri bertuah ini harus dibangunkan, harus terus dimajukan bahawa pembelaan kepada rakyat harus menjadi keutamaan bersesuaian dengan hadis Nabi Muhamaad SAW (bacaan hadis), “setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungan terhadap pimpinannya”. Segala fakta dan data pada hari ini jelas menunjukkan kerajaan hari ini begitu bersungguh-sungguh dalam merancang dan melaksanakan segala apa yang mampu dan terdaya bagi memastikan negeri maju, negeri Johor ini terus maju. Suku pertama 2025 telah mencatatkan rekod pelaburan masuk berjumlah RM27.4 bilion, belum lagi kita lihat rekod-rekod peningkatan hasil sebagaimana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat pada pagi tadi.
Apakah faktor utama pada pencapaian ini Yang Berhormat Datuk Speaker? Sudah pasti, antaranya adalah keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dalam negeri ini. Kestabilan masa depan sebagaimana yang telah pun dihadiahkan oleh rakyat dalam pilihan raya negeri Johor yang lalu. Faktor lain sudah pasti adalah didorong oleh kebijaksanaan kerajaan negeri memperkenal dan melaksanakan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura beserta dengan berbagai inisiatif-inisiatif lain dalam menarik pelaburan ke negeri tercinta ini. Pencapaian ini bersama dengan deretan pencapaian-pencapaian hebat pada tahun-tahun sebelumnya 2022, 2023, 2024 jelas membuktikan bahawa kerajaan Johor yang ada pada hari ini begitu bersungguh-sungguh berusaha merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelaburan utama di rantau ini. Itulah yang saya katakan tadi, kestabilan itu adalah demi masa depan Bangsa Johor dan itulah yang sedang diterjemahkan oleh kerajaan Johor pada hari ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam keazaman cita-cita dan iltizam kita mengorak langkah menuju negeri maju menjelang 2030, kerajaan negeri telah meletakkan isu alam sekitar dan kebersihan sebagai Teras Kelima daripada Enam Teras Agenda Maju Johor dan ianya telah pun dijadikan antara fokus utama kerajaan negeri selari dengan matlamat pembangunan mampan. Kesungguhan kerajaan negeri pada hari ini bukan sahaja sekadar melaungkan slogan, malah memperuntukkan RM7 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi tujuan pembersihan sungai-sungai tercemar di Johor sekali gus menyokong usaha memelihara alam sekitar.
Program Johor Bersih juga yang julung-julung kali diperkenalkan di Johor bukan sahaja sekadar membersihkan sungai dan kawasan sekitar malah yang paling penting program ini bermatlamat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Syabas kepada kerajaan negeri Johor, natijah daripada Program Johor Bersih ini, kerajaan Johor telah mencatatkan rekod jumlah sungai tercemar daripada
14 buah batang sungai kepada sembilan (9) batang sungai. Kejayaan ini pasti didorong oleh keinsafan bahawa kebersihan dan penjagaan alam sekitar adalah satu yang sangat penting untuk kita wariskan kepada generasi akan datang.
Dalam sesi perbahasan kali ini, Gambir ingin bertanya kepada kerajaan negeri. Apakah pula perancangannya untuk pengurusan sisa pepejal di kawasan perkampungan tradisi? Yang Berhormat Datuk Speaker, secara purata setiap rakyat Malaysia pada satu hari akan menghasilkan 800 gram sampah pada setiap hari. Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menunjukkan Johor menduduki tempat ketiga penghasilan sampah iaitu sebanyak 2,002 tan sehari. Soalannya saya kemukakan adalah, bagaimanakah perancangan kerajaan negeri Johor dalam soal pengurusan sisa pepejal di dalam kawasan perkampungan tradisi? Sebagai perbandingan di Selangor, kerajaan negeri telah melantik sebuah syarikat mengendalikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuklah juga kawasan kampung tradisi di PBT yang tersebut.
Saya merasakan apa yang dilakukan di Selangor ini boleh kita kaji dan diimplementasikan di Johor dengan penambahbaikan yang perlu. Sekurang-kurangnya Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri boleh menyediakan perkhidmatan tong sampah berpusat di kawasan strategik awam, di kawasan-kawasan kampung tradisional terutama di pinggir bandar atau di kampung yang dipilih sebagai Pusat Pembangunan Komuniti. Percayalah, kegagalan kita mengurus sisa pepejal di kampung tradisi dan kampung baharu ini akan mengundang masalah dalam pengurusan alam sekitar pada masa hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Agenda Maju Johor 2030 yang dipelopori oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar merupakan satu agenda besar yang perlu disokong dan didokong oleh Bangsa Johor secara keseluruhannya. Kita rasa bertuah kerana dianugerahkan seorang pemimpin negeri yang begitu bersungguh-sungguh memaju dan membangunkan negeri ini dan kekal komited dalam memastikan rakyat terus terbela. Lihat sahaja deretan inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 berserta kesungguhan kerajaan dalam melaksanakannya.
Adalah menjadi hasrat kita dan tekad bersama bahawa apa jua kemajuan dan pembangunan yang ingin dicapai maka rakyat sebagai stakeholder utamanya harus mendapat manfaat rakyat harus merasai nikmat, rakyat harus menjadi keutamaan kerana kita sebagai Wakil Rakyat sesungguhnya merupakan hamba yang akan terus bekerja demi rakyat dan untuk rakyat. Projek-projek berkaitan dengan infrastruktur jalan raya yang merupakan keperluan utama rakyat nampaknya begitu bersungguh-sungguh diusahakan oleh kerajaan sama ada melalui peruntukan negeri atau pun peruntukan kerajaan pusat. Melalui sesi kunjungan hormat Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Kementerian Kerja Raya pada Februari yang lalu dilaporkan sebanyak RM263 juta peruntukan telah diluluskan bagi tujuan infrastruktur di negeri Johor, negeri bertuah ini.
Ternyata memelihara hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat merupakan satu langkah yang sangat bijaksana dan akhirnya ia memberi impak yang baik kepada kesejahteraan dan manfaat Bangsa Johor keseluruhannya. Namun begitu saya merayu kepada kerajaan negeri, pandanglah lebih serius usaha untuk memastikan penyelenggaraan dan pembinaan jalan-jalan kampung dan lorong-lorong rumah juga diberi perhatian. Perkara ini mungkin kecil bagi sebahagian orang tetapi besar bagi sebahagian yang lain. Sebagaimana yang kita cita-citakan negeri ini harus dibangunkan, harus
dimajukan, harus dimodenkan tetapi segala macam kemajuan dan pemodenan ini tidak membawa sebarang erti kepada masyarakat kampung. Jika keperluan mereka untuk lorong berturap di rumah, keperluan mereka untuk melalui jalan yang selesa, keperluan mereka untuk melalui jalan alternatif yang lebih selesa tidak diambil perhatian. Telinga ini sering mendengar keluhan. Mata ini sentiasa menyaksikan, hati ini sentiasa terusik melihat jalan-jalan yang tidak diselenggara. Rumah-rumah lorongnya tidak berturap. Sambil bertanya di benak fikiran, kemajuan apakah yang kita kejar jika nasib rakyat untuk kehidupan dan infra yang minimum ini pun tak dapat kita bina dan sediakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita faham bahawa kantong kerajaan negeri ini kecil. Kita tahu bahawa poket kerajaan negeri ini tidak besar untuk menunaikan segala hasrat dan kehendak rakyat tetapi walau apa keadaan sekali pun kerajaan negeri harus memainkan peranan dan memikul tanggungjawab. Di Gambir Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan kerjasama dan komitmen barisan ketua kampung yang sangat berdedikasi telah menyenarai dan menghantar serah senarai jalan-jalan kampung dan lorong-lorong rumah yang pada hemat kebijaksanaan mereka perlu diperbaiki dan diturap. Saya mohon budi bicara dan pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO yang berkenaan bantulah Pejabat Daerah Tangkak untuk menggerakkan syarikat-syarikat konsesi ini supaya segala projek-projek kecil ini dapat dilaksanakan. Orang kampung tak perlukan bangunan pencakar langit sebagaimana prestasi kemajuan. Orang kampung tidak perlukan RTS, ETS, monorail sebagai revolusi pengangkutan di kampung. Orang kampung tak perlukan pelebaran jalan berstatus lebuh raya atau pun jalan raya persekutuan. Cukuplah dengan lorong rumah yang berturap, lorong laluan alternatif yang cukup lebar untuk berselisih. Orang kampung hanya perlukan sedikit keselesaan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada sokongan mereka yang padu kepada kerajaan selama ini. Saya juga mohon kepada kerajaan negeri supaya dapat menyegerakan pelebaran jalan alternatif di Jalan Raja Bukit Gambir dan jalan alternatif Sungai Leban ke Sungai Jaya menuju ke Sekolah Menengah Bukit Gambir. Ini adalah antara keperluan utama dan keperluan mendesak yang perlu disegerakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara isu yang menjadi kegusaran rakyat di Gambir adalah fenomena banjir termenung yang kelihatan masih gagal ditangani oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran. Kita sangat faham akan kekekangan peruntukan yang dihadapi oleh pihak JPS. Isu ini isu yang berpanjangan dan berlarutan. Bayangkan pada tahun ini sahaja pada bulan Mac, April dan hari ini bulan Mei, banjir termenung masih lagi berlaku dan tiada tanda-tanda surut di kawasan tersebut. Kawasan-kawasan kebun kecil di sekitar lembangan Sungai Berlemang Tangkak antara merupakan kawasan yang sering mengalami fenomena banjir termenung ini antaranya di Kampung Sri Jaya, Kampung Simpang 5 Darat, Kampung Parit Pulai. Apakah sebenarnya tindakan kita bagi mengurangkan impak banjir termenung, tuan-tuan, Yang Berhormat Datuk Speaker? Sanggupkah kita membiarkan rakyat yang bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun ini hanya memandang hasil tanaman mereka dengan linangan air mata? Tegarkah hati kita ini untuk terus membiarkan rakyat menderita kerana pergantungan mereka semata-mata kepada hasil sawit yang kini hanya mampu dipandang tetapi tidak dapat diraih hasilnya. Saya merayu, saya memohon kepada kerajaan negeri carilah jalan supaya projek tebatan banjir Lembangan Sungai Berlemang dengan kos RM12 juta ini dapat disegerakan. Dalam masa yang sama juga saya merayu pertimbangan kerajaan negeri jika boleh salurkanlah bantuan one off kepada pemilik kebun sawit yang tidak dapat menjual hasil mereka setelah tiga (3) bulan ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Sekurang-kurangnya kita dapat meredakan keresahan mereka. Sekurang-kurangnya kita
dapat mengurangkan bebanan hidup mereka. Sekurang-kurangnya mereka mampu mengukir wajah, senyuman di wajah duka mereka. Jika tidak apalah maknanya kita menuju negeri Maju 2030 sedang rakyat dibiar bersendirian ketika menghadapi ujian. Apalah ertinya segala macam inisiatif membela rakyat sekiranya nasib pekebun kecil ini terus terpinggir dan dipinggirkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah mengilhamkan satu program yang cukup baik untuk dilaksanakan di semua 56 DUN iaitu Program Jelajah Orang Johor atau dikenali sebagai JOJ. Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Gambir telah selesai mengadakan program ini pada 20 April yang lalu. Ternyata program ini mendapat sambutan yang sangat baik oleh masyarakat. Saya mengesahkan disini saya mendapat kerjasama yang baik dari tuan Pegawai Daerah berserta hampir semua jabatan kerajaan dan agensi di Tangkak dalam penganjuran JOJ Gambir ini. Program ini mempunyai wow factor nya sendiri. Saya melihat sendiri keterujaan masyarakat dalam setiap venue yang ditetapkan. Dan kita harap dapat mencapai objektif sebagaimana yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat beberapa perkara yang saya fikir boleh ditambah baik untuk memberi impak kepada masyarakat dan negeri Johor. Pertamanya, program ini harus meningkatkan kefahaman rakyat terhadap segala dasar inisiatif, hala tuju pembangunan dan program-program untuk rakyat yang kini dan telah sedang akan dilaksanakan di Johor. Rakyat harus mendapat, berpeluang mendapat pendedahan dan maklumat secara terus berkenaan dengan keazaman, cita-cita, pelan gerak kerja dalam usaha kita menuju Maju Johor oleh setiap agensi, oleh setiap jabatan, setiap portfolio di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri. Program ini bukan sekadar program suka-suka konvoi motor je Yang Berhormat Datuk Speaker. Program ini bukan program suka-suka nak mencari juara masak mee goreng atau juara tarik tali, tetapi bagaimana program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap agensi, setiap jabatan, setiap portfolio di bawah EXCO untuk mengemukakan report card mereka kepada rakyat melalui pameran program terus kepada kelompok sasaran dan sebagainya. Yang Berhormat Datuk Speaker, jujur Gambir katakan pada ketika program ini mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat, dari pagi hinggalah ke malam walaupun ketiadaan artis jemputan. Penyertaan agensi di luar dari daerah Tangkak sangat-sangat tidak memberangsangkan. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggerakkan tiga (3) agensi di bawah portfolio beliau, melaksanakan program dalam JOJ Gambir. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Luar Bandar, Dato’ Zahari pinjamkan KEMAS untuk menjadi urusetia program yang sangat komited dalam tugas mereka. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO Kesihatan menurunkan bas, klinik bergeraknya. Soalannya, mana yang lain? Benarlah mungkin Tangkak ini, DUN Gambir ini jauh di mata. Mudah-mudahan ianya tidak jauh di hati pemimpin-pemimpin utama negeri. Yang Berhormat Datuk Speaker.
Pegawai Daerah datang tak?.
Apa dia?.
Pegawai Daerah datang ke tak?
Saya boleh mengesahkan Pegawai Daerah daripada pagi Semarak Subuh, berkonvoi bersama-sama sehinggalah ke malam Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya sangat kagum dan saya puji komitmen daripada Pegawai Daerah Tangkak. (Dewan bertepuk).
Pegawai Daerah kena datang.
Baik. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, sedikit isu kawasan yang saya nak bawakan di sini, berkenaan dengan menaik taraf gelanggang futsal di Gambir untuk dijadikan gelanggang futsal berbumbung. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon pertimbangan dan jasa baik Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita yang cakna Orang Muda dan juga Yang Berhormat EXCO Sukan yang sentiasa mengutamakan kecemerlangan Orang Muda. Bantulah Gambir, naikkanlah taraf satu gelanggang futsal agar anak muda berpeluang bermain futsal dengan selesa. Isu ini telah beberapa kali kita bawa dalam sesi perbahasan ini dan harap pada kali ini adalah satu jawapan positif untuk Gambir bawa balik ke kawasan. Gambir tidak perlukan gelanggang futsal bertaraf antarabangsa cukuplah gelanggang futsal sedia ada dan dinaik taraf dan kita pasangkan bumbung agar anak-anak muda Gambir dapat bersukan dan beriadah dengan lebih baik. Mudah-mudahan dengan adanya kemudahan tersebut, Gambir akan menjadi pencabar yang hebat dalam acara futsal, dalam sukan Bangsa Johor pada tahun hadapan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas peruntukan RM1 juta yang diterima untuk membaik pulih kemudahan Klinik Kesihatan, Klinik Pergigian dan Klinik Ibu Dan Anak di Klinik Kesihatan Bukit Gambir. Terima kasih EXCO Kesihatan kerana mendengar keluhan Gambir. Walau bagaimanapun, Gambir masih mengharapkan kerajaan negeri dapat menyegerakan proses pengambilan balik tanah untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan yang baru di Gambir. Biarlah kali ini ada penyelesaiannya. Ada titik noktahnya. Biarlah kali ini sebagai sebuah kawasan DUN, DUN Dewan Undangan Negeri yang sangat pesat membangun. Rakyat Gambir berpeluang mendapat kemudahan kesihatan yang selesa dan lengkap.
Seterusnya Yang Berhormat Dato’ Speaker, Gambir juga mengambil peluang dalam perbahasan ini untuk memohon jasa baik dan pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bagi pembinaan sebuah balai raya di Kampung Seri Menanti Sengkang, Bukit Gambir. Permohonan telah dimajukan sejak tahun 2022, ulasan telah pun dikemukakan ke Pejabat Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, isu tanah juga telah selesai dan kini saya dan masyarakat kampung di sana tertanya-tanya dan ternanti-nanti bilakah balai raya ini akan dibina dan untuk kemudahan masyarakat.
Yang terakhir Yang Berhormat Datuk Speaker, berkenaan dengan surau Kampung Seri Baka. Surau asal kampung ini dibina di atas tapak yang dimiliki oleh individu. Kegagalan melaksanakan proses wakaf menyebabkan pemilik baru tanah ini ingin mengambil posisi tanah untuk tujuan mereka. Sehubungan dengan itu, satu usaha pembinaan surau baru telah dimulakan dan sebuah tanah milik kerajaan negeri telah dikenal pasti untuk tujuan pembinaan. Gambir difahamkan bahawa Majlis Agama Islam Johor telah memulakan proses untuk pemilikan tanah yang menjadi pra syarat namun, sehingga kini belum ada kelulusan. Di Dewan yang mulia ini, saya ingin memohon kepada kerajaan negeri dua (2) perkara. Pertamanya, atas dasar kesegeraan, segerakanlah kelulusan tanah kepada MAIJ untuk
memulakan proses serta seterusnya dapat dilaksanakan. Yang kedua, atas dasar kesegeraan juga kerana tapak surau sedia ada telah dituntut kembali oleh pemilik berdaftar yang baru. Maka, saya memohon kelulusan peruntukan segera dan penuh sama ada daripada Majlis Agama Islam Johor, kerajaan negeri atau dari mana-mana GLC untuk membina surau baru tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada ketika rakyat berada dalam kebimbangan maka kerajaan negeri..
Masa dah tamat Yang Berhormat.
Sedikit lagi. Harus memainkan peranan untuk memastikan kedua-dua perkara tersebut dapat dilaksanakan. Yang Berhormat EXCO Agama juga telah melawat dan saya mohon ianya dapat dilaksanakan pada tahun ini. Itu sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih di atas masa yang telah pun diberikan. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan Gambir mohon untuk menyokong. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:50 petang. Dan akan dimulakan oleh Yang Berhormat Bukit Batu. Persidangan ditangguhkan pada jam 1:23 tengah hari.
Persidangan disambung semula pada jam 2:50 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, oleh kerana semua Ahli Dewan bersemangat untuk mengutarakan hal perihal kawasan masing-masing, justeru diharapkan Ahli Yang Berhormat dapat berbahagi masa agar semua dapat merasa dan melaksanakan amanah masing-masing. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan Dewan mengucapkan selamat datang kepada pemerhati daripada DUN Kawasan Tenang seramai 10 orang. (Dewan bertepuk). Ahli-Ahli Yang Berhormat, Perbahasan disambung semula. Yang Berhormat Bukit Batu dipersilakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang saya hormati sekalian. Terutamanya terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah perasmian Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Bukti Batu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku kerana sudi menyampaikan titah Baginda kepada Dewan yang mulia ini. Hari ini saya ingin mengangkat satu tema yang semakin hangat diperkatakan bukan sahaja di peringkat negeri malah turut mencuri perhatian dunia iaitu potensi negeri Johor untuk menjadi hab utama industri teknologi dan digital di Malaysia malah Asia Tenggara.
Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, transformasi digital bukan lagi sekadar slogan atau impian. Ia kini realiti yang sedang berlaku di depan mata kita. Dengan kehadiran syarikat gergasi seperti Microsoft, Tesla, Amazon Web Services dan pelabur-pelabur dari China, Amerika Syarikat serta Singapura, Johor kini bukan sahaja destinasi pelaburan tetapi bakal menjadi lembah silikon versi Asia Tenggara. Namun, sebagai Wakil Rakyat yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan masa depan rakyat Johor, kita tidak boleh hanya berbangga dengan angka pelaburan semata-mata. Kita perlu bersedia dengan dasar dan strategi untuk memastikan limpahan teknologi ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat terutamanya dari sudut pekerjaan, pendidikan sosial dan keselamatan ekonomi negeri ini. Dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, kita lihat bagaimana Johor kini menjadi tumpuan syarikat-syarikat teknologi global. Microsoft melabur lebih RM10 bilion dalam pusat data yang di Kulai. Tesla pula memilih Johor sebagai hab perniagaan elektrik kenderaan dan Amazon Web Services pula memulakan operasi pusat simpanan data di Sedenak Tech Park. Bukan itu sahaja, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal menjadi game changer dengan pelaburan strategi dalam automasi kecerdasan buatan AI, sains hayat dan teknologi hijau. Dengan nilai pelaburan langsung asing, FDI Johor mencecah lebih daripada RM70 bilion pada 2023. Johor kini mendahului negeri lain dalam FDI buat dua (2) tahun berturut-turut.
Malaysia telah mencatatkan pelaburan digital yang luar biasa pada tahun 2024 dengan jumlah pelaburan melebihi RM163.6 bilion. Lebih tiga (3) kali ganda daripada RM46.8 bilion pada tahun sebelumnya. Syarikat-syarikat teknologi global seperti Amazon Web Sevices, Google dan Microsoft telah menyumbang secara signifikan kepada pelaburan ini. Sebagai contoh, AWS telah mengumumkan pelaburan sebanyak RM29.2 bilion untuk menubuhkan AWS Asia Pacific Malaysia Region yang dijangka menyumbang RM57.3 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2038 dan mewujudkan 3,500 pekerjaan sepenuh masa setiap tahun.
Rakan-rakan ADUN yang saya hormati, kita perlu mengelakkan daripada menjadi tuan tanah dalam rumah sendiri. Kalau pelaburan berbilion ini masuk tetapi rakyat Johor hanya menjadi pengawal keselamatan di luar pagar pusat data maka itu sangat kegagalan dasar. Johor kini berada di ambang transformasi ekonomi yang signifikan terutamanya dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Inisiatif ini dijangka mewujudkan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan dalam 10 sektor utama dengan tawaran gaji permulaan premium sekitar RM4,000.00 yang jauh melebihi gaji minimum semasa. Dengan segala rasa hormat, izinkan saya membangkitkan isu ini. Cadangan saya adalah insentif untuk syarikat asing yang menawarkan latihan dan pengambilan pekerja tempatan. Pengukuhan pendidikan vokasional dan teknikal TVET di bidang berkaitan coding, AI keselamatan cyber, kerajaan negeri Johor perlu memperluas program latihan kemahiran tinggi melalui institusi seperti Johor Skill dan Cyberport Academy untuk memastikan belia tempatan bersedia menghadapi permintaan industri.
Pembangunan teknologi memerlukan modal insan yang berkualiti, oleh itu, pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran digital adalah penting untuk memastikan rakyat Johor dapat mengambil bahagian secara aktif dalam ekonomi digital. Institusi seperti Johor Skills telah menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada pekerja industri lepasan sekolah dan penganggur untuk meningkatkan kemahiran mereka. Kita harus pastikan anak muda Johor diberi peluang mengisi posisi pekerjaan berkualiti tinggi bukan hanya kerja sokongan. Kita juga perlu bersikap realistik. Ledakan industri akan menarik lebih ramai pekerja asing.
Jika tidak dikawal kita bakal melihat peningkatan kes jenayah, pemalsuan dokumen dan tekanan ke atas komuniti setempat.
Laporan baru-baru ini menunjukkan lebih daripada 70 pekerja asing ditahan dalam operasi di Batu Pahat dan Muar atas kesalahan Imigresen. Kerajaan Negeri Johor perlu memperketat penguatkuasaan, undang-undang, Imigresen dan memastikan majikan mematuhi peraturan pengambilan pekerja asing. Kita juga boleh melaksanakan program intergrasi untuk pekerja asing bagi mengurangkan risiko konflik sosial dan jenayah. Kebangkitan sektor teknologi tinggi di Johor bukan sahaja membawa impak ekonomi tetapi gelombang perubahan budaya kerja, pemikiran dan gaya hidup dalam kalangan rakyat Johor. Persoalannya, adakah rakyat kita benar-benar bersedia? Ramai masih terikat dengan sektor tradisional seperti perkilangan, pertanian dan perkhidmatan asas. Peralihan ini menuntut bukan sahaja kemahiran teknikal baru tetapi cara berfikir yang berbeza seperti budaya kerja fleksibel, pengurusan digital dan inovasi pantas.
Data dari MCMC 2023 menunjukkan bahawa lebih 32% penduduk luar bandar di Johor masih tidak celik sepenuhnya tentang penggunaan teknologi digital asas seperti perbankan dalam talian atau keselamatan siber. Jika hanya segelintir mampu menyertai revolusi teknologi, ini boleh melahirkan jurang antara golongan digital dan golongan tertinggal mewujudkan ketidakpuasan sosial. Pelaksanaan program literasi digital peringkat komuniti berbentuk bengkel praktikal bukan hanya ceramah di surau, kuil, tokong, dewan orang ramai, kampung dan taman perumahan dengan melibatkan anak muda sebagai jurulatih digital, community digital mentor. Kerajaan Negeri Johor juga boleh memperkenalkan pusat transformasi komuniti digital DCTC negeri Johor dengan mewujudkan pusat komuniti teknologi di setiap daerah dengan akses percuma kepada internet laju kemudahan latihan dan platform pekerjaan digital.
Insentif dan geran untuk syarikat teknologi yang aktif melibatkan komuniti tempatan contohnya, syarikat perlu melibatkan 30% vendor atau pekerja dari Johor dalam operasi mereka selaras dengan model inklusif. Peranan PBT dan ADUN dalam menjadi jambatan maklumat memastikan rakyat mendapat info tepat mengenai peluang pekerjaan latihan dan inisiatif yang baru. Dengan intervensi ini, rakyat Johor bukan sahaja menjadi penonton kepada kemajuan teknologi tetapi turut menjadi pemain utama dalam mencorakkan masa depan negeri. Teknologi tidak harus menjadi sesuatu yang menakutkan atau asing sebaliknya alah pemerkasaan dan pembebasan ekonomi. Cadangan-cadangan ini bukanlah untuk membantah tetapi untuk menambah baik kerja. Walaupun pertumbuhan pesat dalam sektor teknologi, membawa banyak manfaat, kita perlu juga menangani cabaran seperti penggunaan tenaga yang tinggi oleh pusat data. Data menunjukkan bahawa penggunaan tenaga oleh pusat data di Malaysia telah meningkat sebanyak 35% setiap tahun sejak 2020. Dengan Johor menyumbang hampir 60% daripada penubuhan ini. Sistem penyejukkan sahaja menyumbang hampir 40% daripada penggunaan tenaga pusat data menjadikan ia sasaran utama untuk langkah-langkah kelestarian.
Selain itu, penggunaan air yang tinggi oleh menara penyejuk dalam pusat data juga menjadi isu yang perlu ditangani. Syarikat seperti Equinix Malaysia sedang meneroka sumber tenaga alternatif untuk mengurangkan kos operasi dan impak alam sekitar. Airtrunk pula telah memasang sistem solar atas bumbung 1 mega watt di pusat data mereka di Johor Bahru sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Kemunculan Johor sebagai hab teknologi bukan sahaja menarik pelabur tetapi juga
perhatian geo-politik. Pelabur dari China, Amerika Syarikat dan Singapura sedang berlumba-lumba untuk melabur. Apa impaknya? Ekonomi Johor mungkin menjadi terlalu bergantung satu kuasa isu keselamatan maklumat dan penguasaan infrastruktur kritikal. Kerajaan negeri perlu ada dasar digital sehenti Johor. Johor telah menarik pelaburan besar daripada China, Singapura dan Amerika Syarikat dalam sektor pusat data dan teknologi. Walaupun ini membawa manfaat ekonomi ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh asing dan kedaulatan ekonomi.
Kerajaan Negeri Johor perlu memainkan peranan dalam menentukan struktur pemilikan pelaburan asing. Kita perlu juga kalahkan pemindahan teknologi dan pegangan bersama syarikat tempatan, JV modul. Kerajaan negeri Johor perlu merangka dasar pelaburan yang memastikan kepentingan nasional terpelihara termasuk syarat pemindahan teknologi dan penglibatan syarikat tempatan. Kita juga boleh menubuhkan badan pemantau untuk memastikan pelaburan asing selaras dengan matlamat pembangunan negara dan tidak menjejaskan keselamatan ekonomi.
Yang Berhormat Datuk Speaker yang saya hormati, saya juga ingin menarik perhatian Dewan ini kepada satu isu yang telah lama menghantui penduduk di sekitar Air Bemban, Kulai, di kawasan saya iaitu pencemaran udara yang berpunca daripada aktiviti perindustrian, pembakaran terbuka atau pelepasan sisa toksik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Baru-baru ini saya telah mengadakan satu sesi town walk bersama penduduk di Kampung Air Manis, Kampung Baru Air Bemban, Kampung Melayu Bukit Batu. Dengan kehadiran agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Kulai. Tahniah saya ucapkan kepada pihak berkuasa yang telah menjalankan tugas dengan baik. Di sini saya juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tuan Fizwan bin Dato’ Haji Mohd. Rashidi, Pegawai Daerah Kulai. Beliau ini memang banyak tolong untuk menyelesaikan, untuk menjelaskan perkara ini. Namun sesi town walk ini hanyalah permulaan kepada dialog rakyat menuntut penyelesaian bukan sekadar penjelasan. Saya mempunyai beberapa cadangan, iaitu, pemasangan sistem pengawasan kualiti udara berterusan, dengan izin, Continuous A Monitoring System dan melalui pengeluaran laporan bulanan kualiti udara secara terus dan boleh diakses oleh orang awam. Bukan itu sahaja, pemantauan lebih agresif terhadap kilang-kilang berisiko tinggi dan talian aduan 24 jam ke JAS, dapat membantu untuk mengelakkan isu-isu sebegini. Saya berharap perhatian khusus daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor akan diberikan untuk menjadikan isu ini kes rujukan tindakan pantas.
Seterusnya, jalan raya FT 001 merupakan laluan utama antara Johor Bahru, Senai, Kulai dan ke utara Johor. Namun kesesakan kian menjadi-jadi terutama pada waktu puncak. Terdapat beberapa kawasan seperti Bukit Batu, Kelapa Sawit, Senai, Saleng yang kini berdepan kesesakan serius dan mengundang risiko keselamatan. Saya ingin memohon maklum balas rasmi daripada Kerajaan Negeri Johor, berkenaan cadangan pelebaran jalan FT 001 yang telah dikemukakan sebelum ini. Ini kerana laluan FT 001 digunakan oleh lebih daripada 45,000 kenderaan setiap hari. Kadar kemalangan jalan raya di laluan ini adalah antara yang tertinggi di daerah Kulai. Oleh itu, cadangan saya adalah untuk melebarkan laluan FT 001 kepada empat (4) lorong sepenuhnya di kawasan kritikal. Minimum cadangan saya adalah lebarkan sekurang-kurangnya 10 km dengan pertambahan lorong pusingan ‘U’ dan laluan khas motorsikal. Kerajaan Negeri Johor perlu berfungsi sebagai penyelaras dengan Kementerian Kerja Raya dan juga JKR Johor untuk mempercepatkan kajian impak dan kos.
Sebagai wakil rakyat, ADUN Bukit Batu, saya juga ingin mengangkat cadangan yang sangat dekat di hati penduduk daerah Kulai iaitu pembinaan sebuah stadium daerah. Daerah Kulai dengan populasi hampir 300,000 orang termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah masih belum mempunyai stadium rasmi berskala daerah. Situasi ini amat dirasai baru-baru ini apabila Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai menjadi tuan rumah Kejohanan MSSJ, tetapi terpaksa menggunakan fasiliti di Johor Bahru akibat ketiadaan stadium di daerah sendiri iaitu Kulai. Malulah kita orang Kulai. Oleh itu, saya ingin mencadang untuk membina stadium berkapasiti sederhana iaitu di mana boleh memuatkan 3,000 sampai 5,000 penonton sekali gus lengkap dengan trek balapan, padang bola sepak dan kemudahan mesra OKU. Lokasi cadangan adalah lokasi strategik seperti Taman Puteri Kulai, Bandar Putera atau Inderapura di Kulai. Stadium ini terdapat dimanfaatkan untuk aktiviti rekreasi, pembangunan bakat sukan belia dan program komuniti. Ini kerana lebih 60 sekolah rendah dan menengah aktif dalam kegiatan sukan di daerah Kulai dan tiada satu lokasi khusus untuk kejohanan peringkat daerah. Jika cadangan ini dipertimbangkan, ia bakal menjadi sebagai pelaburan sosial untuk kesihatan, disiplin, perbaduan dan pembangunan bakat belia Kulai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita sedang berada di ambang perubahan besar. Negeri Johor bukan sahaja menjadi pemangkin penubuhan teknologi negara malah menjadi nadi yang menghubungkan pelaburan, pembangunan dan potensi rakyat, namun kita tidak boleh sekadar bangga dengan angka-angka dan projek-projek mega yang gah di atas kertas. Rakyat menilai malalui kesan langsung sama ada udara yang mereka hirup bersih, jalan yang mereka guna selamat dan lancar, peluang pekerjaan yang memberi pendapatan yang bermaruah serta ruang untuk anak-anak mereka membina masa depan yang sihat dan cemerlang termasuk dalam bidang sukan. Sebagai Wakil Rakyat saya percaya bahawa pembangunan yang terbaik adalah pembangunan yang berpihak kepada rakyat. Saya mohon agar segala cadangan dan isu yang saya bawa hari ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi yang berkaitan. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Johor pesat penuh harapan, teknologi megah menjulang nama; rakyat perlukan perlindungan dan perhatian, demi masa depan negeri tercinta bersama. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Bukit Batu. Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah. Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera dan salam Maju Johor kepada semua. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan pemilik sekian alam dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Kepada keluarga dan sahabat Baginda, para tabiin, para ulama semoga kita semua memperoleh ihsan Allah di hari pengadilan kelak.
Terlebih dahulu dengan hormat dan penuh takzimnya izinkan patik mewakili DUN Pasir Raja merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas Titah Diraja oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada Jumaat lalu. Di kesempatan ini juga patik ingin menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota, Pemangku Sultan Johor di atas kejayaan pasukan bola sepak JDT kerana memenangi Piala Malaysia buat tiga (3) tahun berturut-turut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih diucapkan kepada sahabat seperjuangan dan Dewan yang mulia ini, kerana memberi ruang dan peluang kepada Pasir Raja untuk menyuarakan suara rakyat dan mewakili pendapat, pandangan dan mengemukakan cadangan-cadangan khusus serta mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan kali ini. Seperti sabda Rasulullah yang bermaksud, ‘ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap yang apa yang dipimpin’, hadis riwayat Imam Al-Bukhary dan Muslim. Mudah-mudahan apa yang dibahaskan ini dapat diterjemahkan dengan komitmen agar dapat memberi manfaat dan melakukan yang terbaik buat Johor dan khususnya buat warga DUN Pasir Raja. Kalau memakai kain pelikat, pergi berjamu terlihat sopan; kalau pandai memimpin umat, negeri maju rakyatnya aman.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor ini menjadi tumpuan utama dengan pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang berkembang pesat dan menjanjikan transformasi besar. Dari projek Rapit Transit System Link, RTS yang dinanti-nantikan hingga ke Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura, JS-SEZ. Pelabur semakin tertarik dengan insentif ekonomi dan peningkatan infrastruktur yang dijangka akan merevolusasikan pasaran hartanah di negeri ini sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan di dalam negeri. Pasir Raja ingin mengucapkan selamat datang kepada Yang Berbahagia Encik Mohammad Nazrul bin Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor yang baharu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor terkenal dengan daya tarikan pelancongan yang memenuhi pelbagai minat. Ia menawarkan pelbagai tarikan termasuk tapak sejarah, mercu tanda budaya dan hutan simpan semulajadi. Antara tarikan terkenal di negeri Johor seperti Masjid Sultan Abu Bakar, Legoland, Desaru Coast dan tapak-tapak eko pelancongan menyumbang kepada populariti negeri Johor sebagai destinasi pelancongan. Dan seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026, kerajaan negeri menerusi Tourism Johor dengan kerjasama Johor Group mengambil pendekatan proaktif untuk memperluaskan sektor pelancongan dengan produk baharu jenama Kota Jail sebagai destinasi pelancongan dan menjadikan mercu tanda piece maker yang ikonik di Johor.
Pasaran pelancongan Johor memasuki fasa baharu yang amat menjanjikan, membuktikan ianya sebagai pemain utama di dalam memacu perkembangan ekonomi negeri Johor. Tidak dinafikan strategi memacu industri pelancongan dengan pengisytiharan tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Johor adalah langkah strategik yang penting. Dengan peruntukan sebanyak RM67.6 juta untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan negeri Johor dapat meningkatkan daya tarikannya kepada pelancong dalam dan luar negara. Industri pelancongan yang lebih kukuh bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri tetapi juga mewujudkan pekerjaan dalam pelbagai sektor sokongan seperti perhotelan, makanan, minuman serta pengangkutan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bertolak belakang pada tahun 2023 prestasi pelancongan domestik di negeri Johor mengambil peningkatan yang ketara dari segi bilangan ketibaan pelawat domestik dan jumlah terimaan. Seiring dengan peningkatan perjalanan residen Malaysia, kesan daripada pembukaan semula kesemua aktiviti ekonomi. Jumlah terimaan pelancong domestik Johor meningkat sebanyak 37% berbanding pada tahun sebelumnya. Purata terimaan per perjalanan pada 2023 turut meningkat kepada RM406 berbanding RM377 yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Jumlah terimaan perjalanan harian ke Johor pada tahun 2023 merekodkan pertumbuhan sebanyak 43.1% berbanding tahun
sebelumnya. Sementara itu, jumlah terimaan perjalanan bermalam turut meningkat dengan kadar pertumbuhan 35.6%. Pasir Raja yakin tidak mustahil angka-angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Ianya menjadi titik mula kepada era baharu yang menjanjikan masa depan yang lebih gemilang buat seluruh Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kota Tinggi diterokai oleh Sultan Alauddin Riayat Shah pada tahun 1529 dan menjadi pengasas kepada kerajaan Johor. Nama Kota Tinggi itu sendiri merujuk kepada kewujudan lapan (8) buah kota pertahanan yang dibina di kawasan tanah tinggi di persisir Sungai Johor. Bermulanya di sini 1528, menjadi slogan keramat yang menjelaskan sejarah negeri Johor bermula di Kota Tinggi pada tahun 1528. Hal ini bertujuan membangkitkan rasa bangga terhadap peradaban Bangsa Johor yang bermula di daerah ini. Oleh yang demikian, Pasir Raja berkongsi tentang satu projek diberi nama Kembara Wangsa yang menjadi pembangunan tapak sejarah sepanjang Sungai Johor. Kajian dan projek cadangan perancangan khas ini adalah di bawah kelolaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan diselaraskan dengan implementasi di masa hadapan. Pada tahun 2011, YWJ Citra Holding Sdn. Bhd. yang telah diminta untuk membentangkan potensi Projek Kembara Wangsa di Lab Performance Management and Delivery Unit iaitu PEMANDU dalam sektor pelancongan di bawah Koridor Iskandar Malaysia. Cadangan ini turut dipersembahkan kepada Dato’ Seri Idris Jala dan seterusnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Anggaran pendapatan dari projek ini pada tahun 2020 ialah RM29,000,000.00 hingga RM35,000,000.00 manakala kos pembangunan bangunan RM38,000,000.00. Prasarana RM10 juta, pengambilan semula tanah RM14.5 juta dan promosi dan operasi RM10 juta.
Waktu ini pembinaan infrastruktur pelancongan River Cruise Kembara Wangsa Sungai Johor hampir siap sepenuhnya. Dari Makam Laksamana Bentan, Kampung Kelantan hingga ke Pengkalan Kota Kampung Makam. Pasir Raja ingin mencadangkan supaya projek ini diteruskan dengan menaik taraf Jeti Simpul Kasih di Kampung Sungai Telor dan beberapa jeti lain sepanjang Kampung Sungai Telor hingga ke Makam Tujuh di Felda Sungai Sayong. Untuk makluman, terdapat banyak tempat peninggalan sejarah di sepanjang sungai ini iaitu Kota Kara dan Pekan Tua di Kampung Sungai Telor, Kota Sayong serta Makam 1 dan 2, Makam 3, Makam 7 dan Makam 12 di Sungai Sayong. Sejarah juga menyatakan bahawa Badang juga dilahirkan di Sungai Sayong. Peninggalan sejarah ini amat sesuai jika dipulihara dan dijadikan salah satu daripada tarikan pelancong yang cintakan sejarah dan alam semulajadi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita semua sedia maklum bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu, di dalam Dewan yang mulia ini, Pasir Raja ingin menyatakan tentang projek hab pelancongan yang berlaku di dalam DUN Pasir Raja. Projek hab pelancongan DUN Pasir Raja merupakan satu inisiatif strategik untuk mempromosikan sektor pelancongan di dalam kawasan Pasir Raja dengan memanfaat kemudahan di Pusat Informasi Pelancongan Kota Tinggi. Ini TIC sebagai pusat utama informasi, promosi dan aktiviti pelancongan. Projek ini bertujuan untuk memperkenalkan destinasi menarik produk pelancongan tempatan serta keunikan budaya masyarakat setempat kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat 13 kawasan yang terlibat di dalam projek ini. Kawasan-kawasan ini merangkumi pelbagai penempatan termasuk kawasan FELDA, kampung tradisional, ladang dan kawasan perbandaran. Dengan terlaksananya projek ini,
ianya dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Pasir Raja dan Kota Tinggi. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan pendapatan penduduk melalui aktiviti pelancongan dan perniagaan tempatan. Tambahan pula, terlaksananya projek hab pelancongan Pasir Raja ini dapat memberi pendidikan kepada pelancong dan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar selain dari dapat memperkasakan warisan bangsa, budaya masyarakat melalui pameran dan program interaktif.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam meniti arus kemodenan ini pengurusan kewangan yang baik merupakan satu kemahiran yang kritikal di zaman ini. Namun masih ramai yang mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam merancang kewangan mereka. Peka dengan realiti berbagai usaha telah diterapkan. Bukan sahaja untuk pelaburan ke arah pertumbuhan ekonomi tetapi juga untuk memberi keselesaan semaksima mungkin kepada rakyat. Tentunya berbagai usaha yang diterapkan itu tidak boleh menyelesaikan masalah kerumitan yang kita warisi selama puluhan tahun. Kerana itu, satu-satu usaha yang dijalankan tidak harus dilihat sebagai satu jalan pintas sahaja. Sebaliknya ia perlu dilihat dari sudut latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhan, kestabilan politik, keupayaan kita melangsaikan hutang dan juga menyelesaikan beberapa kerangka ekonomi makro yang asas. Bertitik tolak dengan kenyataan di atas, kita dapat rungkaikan rakyat lebih cakna terhadap isu kewangan yang saban hari semakin membebankan. Salah satu subjek utama yang menjadi bahan bualan orang ramai iaitu isu harga barang.
Dasar warsa ini, kenaikan harga barang semakin menjadi-jadi. Kenaikan ini mengakibatkan beban rakyat terus meningkat bagi meneruskan rutin harian. Bagi yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, atau kurang berkemampuan ini kenaikan harga barang sudah pasti memberi impak ketara. Lantaran itu, Pasir Raja sangat menyokong daya usaha kerajaan dalam membantu permasalahan ini dengan mengadakan Program Jualan Kasih Johor dan Jualan Rahmah Madani Bergerak. Dengan adanya program seperti ini ianya sedikit sebanyak dapat membantu rakyat bagi menghadapi isu kenaikan harga barang ini. Walaupun ianya tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi secara total, sekurang-kurangnya program ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Suka Pasir Raja mencadangkan agar Jualan Kasih dan Jualan Rahmah ini diperbanyakkan. Pasir Raja juga sangat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang menginisiatifkan Program Dapur Kasih Johor. Jelas keikhlasan kerajaan negeri untuk membantuk miskin tegar di negeri ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, mengambil titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, pendidikan untuk Bangsa Johor adalah amat penting. Peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah semata untuk belajar malah juga untuk dididik menjadi perwaris negara supaya menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini selari dengan salah satu bidang keberhasilan utama negara iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progesif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman. Dengan kata lain, kita perlu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu pelajar-pelajar yang mampu mencapai standard kualiti untuk melanjutkan pelajaran ke aras yang lebih tinggi. Namun demikian dari segi perspektif berbeza, hal-hal yang tersebut tidak akan terlaksana sekiranya prasarana yang ada tidaklah sebaik mana. Ini terjadi kepada Sekolah Kebangsaan Sri Saujana, Kota Tinggi yang telah menjadi tempat tinggal burung merpati. Sekolah ini mempunyai seramai 1,315 orang pelajar dan 100 orang
kakitangan termasuk guru. Dengan keberadaan burung tersebut, tanpa tindakan segera dikhuatiri najisnya boleh mengundang masalah kesihatan kepada semua warga sekolah. Berlaku kerosakan dan kekotoran di lobi sekolah yang disebabkan oleh burung merpati ini. Najis burung bertaburan walaupun pembersihan dilakukan setiap pagi. Bau busuk terutama pada waktu pagi menimbulkan ketidakselesaan kepada warga sekolah. Dinding di bilik guru menunjukkan kesan kotoran yang sukar untuk dibersihkan. Pasir Raja berharap Kementerian Pendidikan mengambil serius tentang perkara ini dan tindakan segera harus dilakukan sebelum kerosakan yang lebih besar terjadi. Di kesempatan ini juga, Pasir Raja ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru. Pasir Raja juga merakamkan setinggi tahniah di atas pencapaian SPM keseluruhan daerah dalam negeri Johor. Kota Tinggi mencatatkan peratusan lulus 91.9% terbaik di negeri Johor dengan GPS 4.13 menjadikan Kota Tinggi sebagai tempat ketiga keseluruhan daerah-daerah negeri Johor. Tahniah cikgu. Seterusnya, kalungan tahniah juga diucapkan kepada empat sekolah yang menjadi Sekolah Rintis Bangsa Johor yang memulakan sesi persekolahan 2025-2026 dan bakal menjadi penanda aras kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menilai keberhasilan serta kemenjadian murid yang melibatkan seramai 2,574 murid dan 212 warga pendidik dalam inisiatif pendidikan terbaru ini. Semoga sekolah rintis ini dapat diteruskan di semua daerah dalam negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Malaysia mempunyai satu nama kekuatan dan pengiktirafan dari segi pensijilan halal. Potensi perdagangan halal ini mencecah lebih 1 trilion dolar Amerika. Label halal ini pula tidak tertumpu kepada penyembelihan daging sahaja malah ianya menjerumus kepada semua produk perubatan, kosmetik dan lain-lain. Rentetan dari itu, Rumah Sembelihan Halal Ruminan telah dibangunkan di IMPI AgroFarm Kampung Baru Sungai Telor, Kota Tinggi di dalam DUN Pasir Raja. Ianya bertujuan untuk memperkasakan rumah sembelihan swasta halal di negeri Johor khususnya di daerah Kota Tinggi. Projek ini menyediakan fasiliti Rumah Sembelihan Ruminan Halal yang diiktiraf JAKIM dengan teknologi moden. Hal ini bagi memastikan daging selamat untuk dimakan dengan melalui protokol kebersihan dan pemeriksaan yang ketat. Selain itu, projek ini juga menjamin kesejahteraan haiwan ternakan yang akan disembelih selain dari mengeluarkan produk hiliran berasaskan daging di pasaran Malaysia mahupun luar. Untuk makluman, keluasan tanah sekitar tiga (3) ekar yang merangkumi empat (4) bangunan utama iaitu rumah sembelihan, kandang sementara, pejabat urusan, kawasan ternakan rusa timorensis. Pasir Raja mewakili pengusaha menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhomat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO dan semua Yang Berhormat bagi melihat sendiri pusat sembelihan halal ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bencana banjir merupakan bencana alam yang perlu diberi perhatian khusus kerana ianya memberi kesan langsung terhadap kehidupan dan ekonomi rakyat. Masalah banjir dewasa ini bukan sahaja berlaku ketika musim tengkujuh sahaja malah boleh berlaku pada bila-bila masa. Menyedari hakikat tersebut, Pasir Raja menyarankan agar pihak yang berkenaan dapat mendalamkan sungai-sungai bagi mengelak bencana banjir yang lebih teruk bakal terjadi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Kampung Baru Sungai Johor merupakan kampung yang baru sahaja dimasukkan di dalam kawasan DUN Pasir Raja. Hanya terdapat 16 buah rumah dan satu (1) surau sahaja di dalam kampung ini. Sebelum ini kampung ini berada di dalam kawasan Tebrau. Mengenal sejarah kampung ini, sebelumnya dikenali dengan nama Kampung Melayu Ulu Sungai Johor bersempena anak sungai Johor yang merentasi
kampung ini. Kampung ini mula diteroka sejak awal 80-an dan pada Ogos 2015 menjadi titik sejarah penting kerana dikurniakan geran hak milik kepada penduduk kampung. Namun, dukacita dimaklumkan keadaan di kampung ini tersangat daif dan menyedihkan kerana tidak dilengkapi kemudahan asas. Melalui tinjauan Pasir Raja pada 28 Januari 2025 dan 17 Februari 2025 masih tiada jalan penghubung desa yang bertar di dalam kampung ini. Pihak JPKK telah acap kali berusaha sendiri untuk membuka jalan-jalan di atas rizab sebenar namun ianya tidak dapat dilaksanakan atas faktor kos yang tinggi. Selain itu di dalam Kampung Baru Sungai Johor ini juga masih tidak mempunyai sumber elektrik daripada TNB. Justeru itu, Pasir Raja menyarankan agar kampung ini perlu diletakkan di bawah kawasan pembangunan KEJORA kerana sehingga kini ianya hanya diletakkan di bawah kawasan pentadbiran KEJORA sahaja. Hal ini menyulitkan warga kampung untuk memohon peruntukan di bawah pembangunan.
Kedua, membina jalan perhubungan desa yang mampat dan baru, crusher run dengan izin. Membina culvert laluan air dan parit kiri dan kanan jalan sepanjang 5 kilometer. Ketiga, menyediakan bekalan elektrik dari jalan kampung, masuk ke kampung sehingga ke surau. Yang keempat, membina dewan serbaguna di tanah rizab awam bersebelahan surau. Semua cadangan-cadangan di atas diambil kira. Semoga cadangan-cadangan di atas diambil kira dan dipertimbangkan agar permasalahan di Kampung Baru Sungai Johor ini dapat diselesaikan.
Masa Yang Berhormat.
Sedikit lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, pada perbahasan Belanjawan Johor 2025 yang lalu, Pasir Raja ada menyatakan tentang kekurangan keanggotaan di Balai Bomba Kota Tinggi. Dengan anggota seramai 33 orang berbanding populasi Kota Tinggi seramai lebih 130 orang, jumlah keanggotaan ini jelas sekali tidak seimbang. Namun, sehingga kini sebarang tindakan tidak diambil untuk menambah anggota bomba di Balai Bomba Kota Tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pohon berangan tempat bertemu, girangnya rasa si anak dara; baliklah kita membawa ilmu, binalah bangsa bangunkan negara. (Dewan bertepuk). Dari Kedah ke Pekan Sari, beli suasa di Kota Tinggi; selesai sudah tugas diberi, di lain masa ketemu lagi. Wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pasir Raja mohon menyokong. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pasir Raja. Dijemput Yang Berhormat Jementah.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Jementah merafak sembah menjunjung setinggi tinggi kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas majlis perasmian Persidangan kali ini. Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk Jementah membahas dalam Dewan yang mulia ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, logo Tahun Melawat Johor 2026 telah pun dilancarkan secara rasmi di hadapan kira-kira 1,000 delegasi tempatan dan antarabangsa pada Majlis
Pelancaran Forum Pelancongan ASEAN, ATF 2025 pada bulan Januari yang lalu. Ini menerjemahkan dedikasi kerajaan Johor mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan unggul. Namun, kita harus menyedari bahawa negeri kita masih menghadapi beberapa cabaran yang boleh mempengaruhi pertumbuhan dan daya saingnya.
Pertama sekali, Johor menemui persaingan bukan sahaja dari negeri Melaka malah Singapura. Johor dan Singapura bersaing secara langsung dalam sektor pelancongan kerana kedekatan geografi dan sasaran pasaran yang sebahagiannya bertindih. Jementah ingin menegaskan bahawa penjelasan berkenaan persaingan ini bukan berpendapat bahawa bulan di luar negara lebih bulat, malah Jementah berharap kita belajar dari yang baik dan berkembang dengan lebih baik dalam masa depan. Adalah dimaklumkan Johor selalu dianggap sebagai transit masuk dan keluar bagi pelancong sama ada dari Singapura ke arah Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur ke arah Singapura. Apabila ditanya apakah tarikan Johor, kurang warga negeri lain atau luar negara mengenali identiti pelancongan negeri Johor. Setakat hari ini, kebanyakan pelancong dari luar negara masih mengenali negeri Johor sebagai salah satu negeri dalam Malaysia yang paling berdekatan dengan Singapura atau jiran Singapura. Kita tidak mempunyai satu identiti pelancongan yang menonjol atau terkesan.
Pada hal kita mempunyai gunung yang tertinggi di semenanjung, pantai-pantai yang cantik dan pulau yang sesuai untuk snorkeling dan menyelam. Kita juga mempunyai banyak hutan simpanan dan hutan lipur yang mempunyai keunikan dan sesuai untuk pendakian atau perkhemahan. Apabila kita pandang Singapura, negara yang kecil ini tidak mempunyai sebarang tempat eko pelancongan yang boleh bertanding dengan negeri kita. Walau bagaimanapun, Changi Airport di Singapura tetap mencatatkan penerimaan pengunjung sebanyak 230 milion dalam tahun 2024. Pada 21 Februari 2025, perjalanan dan dunia pelancongan TTW, satu platform media bersepadu B2B Digital terulung dalam industri pelancongan yang mempunyai lebih daripada 10 juta pembaca di seluruh dunia memaparkan satu berita yang bertajuk Singapura bersedia memecahkan rekod pelancongan dengan lonjakan tidak dapat dihentikan pada 2025. Berita ini menunjukkan bahawa pada 2024 pelancongan diunjurkan menyumbang SGD66.1 bilion kepada KDNK Singapura. Data dari Tourism Board Singapore menunjukkan China, Indonesia dan Australia yang merupakan tiga penyumbang KDNK sektor pelancongan yang tertinggi dalam tahun 2024, telah menyumbang sebanyak SGD3.58 bilion, SGD2.13 bilion dan SGD1.44 bilion masing-masing. Walaupun Johor mempunyai tarikan popular seperti Legoland, Desaru Coast dan Gunung Ledang, kekurangan infrastruktur yang efisien melemahkan sektor pelancongan di negeri kita.
Antaranya ialah pertama, pengangkutan awam yang tidak cekap dan sistem transit yang tidak bersepadu. Negeri kita tidak mempunyai sistem LRT atau MRT dan ini menyebabkan pelancong terpaksa bergantung pada teksi, e-hailing ataupun kenderaan peribadi. Kesesakan lalu lintas yang teruk juga merupakan salah satu imej yang negatif kepada pelancong luar negara. Contohnya, Mersing yang terkenal dengan makanan laut yang segar serta pulau-pulau yang cantik selalu menghadapi masalah kesesakan jalan terutamanya di jambatan Mersing pada musim puncak. Masalah kesesakan lalu lintas di Johor Bahru terutamanya di kawasan sempadan seperti Johor-Singapore Causeway dan Tuas Second Link juga menjejaskan pengalaman pelancong.
Kedua, keterbatasan akses ke destinasi pelancongan. Contohnya, destinasi seperti Desaru dan Endau-Rompin adalah sukar di capai tanpa kenderaan sendiri sama ada dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai atau second link, apatah lagi dari Kuala Lumpur atau Melaka. Perkhidmatan seperti shuttle bas dari lapangan terbang ke tarikan utama masih belum disediakan. Ketiga, masalah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Keluasan lapangan terbang terhad merupakan salah satu kelemahan untuk menarik lebih banyak penerbangan terus dari luar negara. Lapangan Terbang Antarabangsa Changi yang bertaraf global dan terletak berdekatan dengan lapangan terbang kita juga merupakan satu persaingan yang amat besar. Ini merupakan faktor utama negeri kita sentiasa dijadikan destinasi transit.
Selain daripada isu infrastruktur, kita masih agak lemah dalam kerja mempromosikan negeri kita di pasaran antarabangsa. Negeri Johor selalu dipandang sebagai destinasi tambahan untuk pelancong yang menghala ke Singapura dan bukannya sebagai destinasi utama. Pelancong atau agensi pelancongan dari luar negara tiada hubungan terus dengan sama ada agensi pelancongan kerajaan atau swasta dalam negeri kita. Adakah kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan lawatan demonstrasi atau dikenali sebagai FAM Tour. Pada pendapat Jementah, ini merupakan salah satu strategi pemasaran yang berkesan untuk mempromosikan destinasi pelancongan kepada agensi pelancongan, media, influencer dan pelabur luar negara. Objektif demonstrasi bukan sahaja memperkenalkan produk pelancongan baharu dan pakej pelancongan dalam Johor yang kurang dikenali malah membina rangkaian dengan agensi pelancongan, media dan influencer. Ahli-ahli yang terlibat memainkan peranan untuk mencipta kandungan promosi melalui pengalaman mereka dalam lawatan demonstrasi tersebut. Ini akan meningkatkan kesedaran pelancong dari luar negara mereka tentang Johor sebagai destinasi pelancongan yang lengkap dan bukan sekadar transit ke Singapura.
Jementah juga mencadang supaya kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberikan insentif kepada para pemain industri pelancongan dalam negeri untuk membuat pameran di peringkat antarabangsa. Para pemain ini selalu mengadu bahawa kos untuk membuat pameran di peringkat antarabangsa adalah amat besar dan kebanyakan mereka tidak mampu untuk menanggung kos tersebut. Pameran pelancongan antarabangsa adalah platform penting untuk mempromosikan Johor kepada pasaran global, menarik pelancong asing, pelabur dan rakan kongsi industri. Penyertaan negeri kita dalam pameran global bukan sahaja memainkan peranan strategik dalam mempromosikan destinasi, menarik pelancong asing malah memberikan impak besar dari segi ekonomi, imej dan jaringan kerjasama. Kita perlu meningkatkan keterlihatan destinasi pelancong dalam negeri kita dan membina rangkaian industri melalui pameran antarabangsa seperti ITB Berlin, WTM London atau ITB Asia yang selalu dihadiri ribuan pengunjung termasuk tour operators, media dan pelancong. Hubungan atau jaringan kerjasama akan dibina melalui pertemuan langsung dengan pembeli dan agensi pelancongan dari seluruh dunia. Ini akan membawa lebih banyak pakej pelancongan Johor dijual di pasaran Eropah, China atau Timur Tengah. Penyertaan dalam pameran yang bertaraf antarabangsa memberi persepsi bahawa Johor adalah destinasi bertaraf dunia.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jementah memohon supaya kerajaan negeri membuat perancangan yang lebih konsisten dan komprehensif untuk membangunkan sektor pelancongan dalam negeri kita. Ini bukan sahaja dapat menaikkan KDNK negeri malah membawa perkembangan ekonomi yang lebih menyeluruh dan seimbang dalam negeri kita. Terutamanya kawasan luar bandar yang tidak sesuai untuk sektor perindustrian atau
perkilangan. Perancangan ini bukan sahaja melibatkan kerja-kerja menaiktaraf destinasi pelancongan dan infrastruktur yang menghubungkan pelbagai lokasi pelancongan dengan stesen pengangkutan awam, malah termasuk pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pemain-pemain industri terutama pihak swasta untuk bersama-sama membangunkan industri yang penting ini. Kita perlu menubuhkan satu identiti yang unik dan menonjol untuk memperkenalkan negeri kita sebagai negeri Johor yang menarik dan bukan lagi sebagai negeri jiran Singapura.
Selain daripada kerja-kerja mempromosikan sektor pelancongan, kerja-kerja rancangan dan naik taraf infrastruktur dan logistik perlu diambil dalam pertimbangan dan perancangan sektor ini bagi jangka masa pendek dan panjang. Akses yang lancar dan jimat masa ke destinasi ketersambungan antara destinasi dan kondisi jalan yang selamat adalah antara faktor kejayaan industri pelancongan yang utama. Jementah juga memohon statistik yang terperinci dan terkini berkenaan sektor pelancongan dalam negeri Johor di sediakan dari masa ke semasa. Statistik ini adalah asas kritikal untuk perancangan strategik pemasaran efektif dan pembangunan mampan. Data pelancongan yang tepat membolehkan kerajaan negeri dan pihak industri membuat keputusan berasaskan bukti yang relevan. Ini amat penting kerana agensi-agensi yang terlibat mampu menilai keberkesanan kempen promosi yang telah dijalankan dan juga membuat rancangan seterusnya dalam masa depan. Melalui statistik yang terperinci kita boleh memahami profil dan tingkah laku pelancong seperti perbelanjaan purata atau destinasi paling popular. Kerajaan juga boleh menggunakan statistik untuk mewujudkan insentif atau memperbaiki kekurangan yang diadu oleh pelancong. Big Data dan AI juga boleh digunakan untuk membuat ramalan untuk trend pelancongan dalam masa depan. Jementah memohon kerajaan negeri mengalokasikan bajet yang lebih efektif bagi meningkatkan pengumpulan data, real time bagi menyempurnakan statistik untuk memperbaiki atau mengubahsuai rancangan yang sedia ada. Bagi memperkembangkan sektor pelancongan ini yang mampu melonjakkan ekonomi negeri kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, JS-SEZ merupakan topik hangat terutama selepas perjanjian tersebut ditandatangani oleh kedua-dua Malaysia dan Singapura pada bulan Januari yang lepas untuk membentuk Zon Ekonomi Khas ini. Zon Ekonomi Khas ini bertujuan untuk membantu Johor dan Singapura bersaing untuk menaik pelaburan di kedua-dua negara ini diperingkat dunia selain menambah baik perhubungan dan pergerakan barang dan warga serta mengukuhkan ekosistem perniagaan di rantau ini. JS-SEZ ini bukan sahaja dijangka akan melonjakkan ekonomi negara kita malah menambah peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutama peluang pekerjaan profesional dan kemahiran dalam bidang kewangan dan teknologi. Seperti yang dimaklumkan, hubungan kewangan dan teknologi adalah semakin erat seiring dengan perkembangan digital melahirkan konsep seperti FinTech, Financial Technology. Hubungan antara kedua-dua bidang ini termasuk beberapa aspek seperti inovasi dalam perkhidmatan kewangan, automasi dan kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI. Regulatory Technology. Perkembangan teknologi telah merovulasikan sektor kewangan, menjadikan ia lebih cepat, mudah dan inklusif. Cabaran baru yang dihadapi oleh negeri kita bukan membangunkan sektor ini dalam JS-SEZ termasuk persaingan dengan pusat kewangan yang sedia ada di Singapura, insfrastruktur digital dan connectivity yang sedia ada. Regulasi dan dasar kerajaan persekutuan dan negeri dan keselamatan siber.
Namun, pada pandangan Jementah, cabaran yang terbesar dan kritikal adalah kekurangan tenaga mahir dalam bidang teknologi kewangan. Negeri kita memerlukan lebih banyak pakar dalam blockchain, AI, analisis data kewangan dan keselamatan siber. Salah satu punca kekurangan pakar FinTech di Johor adalah penumpuan pakar di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Kebanyakan pakar blockchain, AI, data analytic dan keselamatan siber lebih tertarik bekerja di pusat kewangan utama seperti TRX di KL atau Singapura kerana gaji lebih tinggi dan peluang kerjaya lebih baik. Industri FinTech memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam teknologi kewangan dan inovasi digital. Namun, kelemahan sistem pendidikan boleh menghalang pertumbuhan sektor ini. Kurikulum yang tidak relevan dan ketinggalan zaman, konsep kewangan tradisional dan kekurangan program khusus FinTech di universiti tempatan menambah jurang kemahiran para graduan. Mereka kurang pengetahuan praktikal dalam pembangunan aplikasi kewangan, keselamatan siber atau analisis data kewangan. Pelajar juga kurang terdedah kepada peluang dalam FinTech bukan sahaja kekurangan program kesedaran tetapi faktor utamanya adalah kekurangan perkakasan ketika dalam pelajaran peringkat rendah.
Jementah telah melawat ke beberapa sekolah dan mendapati bahawa komputer riba yang disediakan dalam sekolah adalah tidak mencukupi dan sistem pengendalian komputer yang sedia ada adalah ketinggalan zaman. Kebanyakan pelajar pun tidak pernah belajar membuka Window. Kerajaan terus menekankan dan mempromosikan sistem STEM dalam sistem pelajaran negara kita. Tetapi bagaimanakah pelajar boleh menguasai pelajaran STEM jika sekolah-sekolah tidak mempunyai infrastruktur asas untuk mereka mengikuti kerangka kurikulum mata pelajaran KSSM. Semakan 2017, mata pelajaran Matematik hanya diperuntukkan minima 96 jam atau 12% daripada jumlah waktu pelajaran manakala Sains hanya 48 jam atau 6% dari jumlah waktu pelajaran. Dalam sepanjang setahun di peringkat sekolah rendah tahap kedua iaitu untuk darjah empat (4) ke enam (6). Sebagai satu bandingan, waktu belajar Matematik dan Sains di peringkat sekolah rendah yang sama di Singapura adalah selama lima (5) atau lima (5) jam dan dua (2) hingga 2.5 jam masing-masing dalam satu minggu. Ini persamaan dengan lebih kurang 20% dan 10% dari jumlah waktu belajar dalam setahun. Sejak tahun 2020, kerajaan Singapura telah memperkenalkan coding class sebagai kelas tambahan wajib kepada pelajar di peringkat sekolah rendah tahap kedua iaitu dari darjah empat (4) ke darjah enam (6). Jementah difahamkan, bahawa kerajaan kita juga bermula memperkenalkan kelas coding atau kelas pengaturcaraan di sekolah rendah. Akan tetapi, pelajar-pelajar hanya diperkenalkan kemahiran asas dari buku teks sahaja. Pelajar tidak pernah pun didedah dengan kemahiran praktikal mahupun guru-guru. Salah satu langkah yang paling penting bagi pelajar untuk belajar coding atau pengaturcaraan adalah dengan latihan secara konsisten membuat projek bagi menghasilkan permainan atau animasi. Maka, soalan Jementah, bagaimanakah anak-anak kita ini memahiri kemahiran pemikiran komputersional tanpa waktu pelajaran yang mencukupi bekalan komputer yang mencukupi dan guru-guru yang mahir?
Pendidikan merupakan tunjang dalam pembangunan ekonomi. Jementah menyaran supaya kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih ekstensif dan menyeluruh untuk mengatasi masalah ini meskipun sekolah perintis Bangsa Johor telahpun diperkenalkan sebagai pilot project. Dengan izinnya, Jementah ingin kongsikan satu peribahasa dalam Bahasa Cina, “gong yu san qi shi, bi xian li qi qu” membawa maksud jika seorang tukang ingin hasil karyanya baik, alat beliau perlulah di asah terlebih dahulu. Johor berpotensi menjadi hab FinTech serantau tetapi kejayaan bukan sahaja tergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi memerlukan sokongan daripada pemain industri
dan akademik untuk melahirkan lebih banyak pakar AI. Jika negeri kita berjaya mengatasi cabaran bakat dan pakar dalam bidang teknologi ini, JS-SEZ boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi digital bukan hanya untuk negara kita malah diseluruh ASEAN. Dengan ini Jementah mengakhiri perbahasan hari ini dengan serangkap pantun. Di selatan tanah yang raya, Johor berdiri penuh bercahaya, dengan ilmu teknologi di julang, Johor gemilang di pentas dunia. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Jementah, dipersilakan Yang Berhormat Tenang.
Bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi kesempatan mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih di atas Titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan Penggal Persidangan Dewan Yang Mulia ini pada 16 Mei lalu. Rasanya belum terlambat untuk Tenang merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada insan yang bergelar guru sama ada masih berkhidmat atau sudah bersara atas jasa dan pengorbanan mereka dalam melahirkan golongan berilmu selama ini tidak terbalas. Selamat Hari Guru untuk semua guru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menjunjung titah baginda Pemangku Sultan Johor yang menzahirkan keprihatinan terhadap kemudahan tempat tinggal Bangsa Johor, Tenang ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang telah melaksanakan pelbagai usaha selari dengan hasrat Baginda dalam memastikan Bangsa Johor berpeluang memiliki kediaman sendiri tanpa menanggung beban ekonomi yang tinggi. Antara inisiatif penting yang telah dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri adalah dengan Program Rumah Mampu Milik Johor atau RMMJ serta Rumah Transit Bangsa Johor yang ternyata mampu memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini khususnya golongan B40.
Tidak dinafikan tumpuan pembinaan RMMJ ketika ini dilihat lebih tertumpu di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk serta bandar-bandar besar memandangkan terdapat keperluan mendesak penduduk di kawasan berkenaan memiliki rumah kediaman. Namun, dalam masa sama Tenang turut berharap agar kawasan luar bandar atau pinggir bandar tidak dilupakan kerana hakikatnya penduduk di kawasan luar bandar terutama golongan muda juga perlu dibantu untuk memiliki rumah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sebelum ini telah pun mengenal pasti sebidang tanah untuk dibangunkan sebagai tapak RMMJ di Tenang. Namun entah di mana silapnya selepas upacara pecah tanah dilakukan beberapa tahun lalu, tiada lagi kedengaran projek tersebut akan diteruskan dan dilaksanakan. Sehubungan itu, besarlah harapan penduduk Tenang agar perkara ini diberi perhatian serta diberi pertimbangan wajar untuk dilaksanakan segera bagi memastikan orang Tenang berpeluang memiliki RMMJ yang disediakan kerajaan negeri. Selain itu, Tenang juga mengharapkan agar pihak kerajaan negeri dapat mewujudkan Projek Rumah Transit Bangsa Johor dengan melihat mana-mana tanah kerajaan yang bersesuaian untuk tujuan pembangunan projek tersebut dalam masa terdekat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tenang juga ingin menarik perhatian Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor bagi menyelesaikan isu lebih 40 buah rumah terbiar di Rumah Awam Labis yang kini sudah berlarutan lebih 30 tahun. Rata-rata unit kediaman rumah tersebut mengalami kerosakan teruk serta ditumbuhi semak samun sehingga mengundang rasa kurang selesa kejiranan setempat. Difahamkan kesemua unit rumah tersebut sudah pun didaftarkan hak milik atas nama pemohon sekitar awal tahun 90-an iaitu selepas urusan tawaran dibuat. Malangnya, terdapat dalam kalangan mereka gagal mendapatkan pembiayaan bank, seterusnya tidak membuat urusan perjanjian jual beli sedangkan nama mereka sudah didaftar sebagai pemilik. Kesilapan yang berlaku tidak pula ditangani dengan segera oleh pihak berwajib dan ketika ini pihak pemaju iaitu Kerajaan Negeri Johor gagal untuk melucut hak pemilik asal sekali gus unit-unit tersebut gagal dijual semula dan terbiar serta mengalami kerosakan. Ini bukan sahaja merugikan kerajaan negeri, malah turut menafikan hak serta peluang mereka yang memerlukan tempat tinggal khususnya generasi kedua rumah awam itu sendiri untuk membeli unit kediaman berkenaan. Oleh yang demikian, besarlah harapan usaha melucut hak penama asal dapat diusahakan dengan segera bagi membolehkan unit-unit kediaman tersebut ditawarkan kepada pembeli baharu dengan keutamaan diberikan kepada generasi kedua yang kebanyakannya sudah berkeluarga dan menyewa di penempatan tersebut.
Selain itu, terdapat juga masalah kegagalan lebih 50 pembeli mendapatkan dokumen hak milik atau geran rumah mereka walaupun sudah melunaskan bayaran pembiayaan bank sejak lebih 15 tahun lalu, di mana pihak bank memaklumkan geran tersebut tiada dalam simpanan mereka sebaliknya mendakwa dokumen tersebut disimpan oleh SUK Bahagian Perumahan Negeri Johor yang dalam masa yang sama turut menafikan dakwaan tersebut. Tenang berpandangan, campur tangan pihak kerajaan negeri mampu merungkai permasalahan yang menghantui pembeli tersebut di mana terdapat pembeli sudah meninggal dunia dan menyulitkan lagi pelbagai urusan berkaitan oleh warisnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keprihatinan kerajaan negeri terhadap bidang pendidikan di negeri ini dengan mewujudkan Sekolah Rintis Bangsa Johor yang melibatkan empat (4) buat sekolah setakat ini harus diberi pujian. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, pelaksanaan SRBJ ini tidak sama sekali menjejaskan silibus serta ko-kurikulum sedia ada sebaliknya memberi penekanan subjek Bahasa Inggeris, Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik. Selain mengembalikan peperiksaan di akhir persekolahan, peringkat sekolah rendah serta peperiksaan ketika pelajar berusia 15 atau 16 tahun di peringkat sekolah menengah seperti peperiksaan UPSR dan PT3 yang telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tenang melihat usaha murni ini mampu melahirkan pelajar yang lebih berketerampilan dan berdaya saing sekali gus mampu menjadi model pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif pada masa akan datang. Sehubungan itu, Tenang mencadangkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperluaskan pelaksanaan SRBJ sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di setiap daerah di negeri ini bagi memberi peluang lebih ramai pelajar terlibat secara langsung dalam projek rintis tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana kita semua maklum Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN merupakan salah satu tempat utama bagi pihak sekolah meminta sumbangan setiap kali ingin menganjurkan program atau menghantar wakil sekolah ke pertandingan sukan mahupun aktiviti ko-kurikulum di peringkat daerah, negeri ataupun kebangsaan. Oleh
yang demikian, besarlah harapan Tenang agar kerajaan negeri mempertimbangkan sedikit peruntukan khas atau geran tahunan kepada semua kawasan ADUN bagi membantu meringankan pihak sekolah ataupun disalurkan terus kepada pihak sekolah melalui ADUN kawasan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, lazimnya setiap kali menjelang perayaan, akan diadakan Jualan Kasih Johor. Bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah berbanding harga di pasaran. Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas keprihatinan kepada rakyat dan Bangsa Johor. Namun melalui pemerhatian, sering kali berlaku kekurangan stok barangan sehingga terdapat mereka yang datang pulang dengan rasa hampa kerana gagal mendapatkan barangan yang diperlukan. Tenang berharap, kerajaan negeri dapat mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi memastikan barangan yang ditawarkan mencukupi mengikut keperluan. Selain itu, mohon ianya diperluaskan dengan menambah penganjurannya daripada kepada empat (4) kepada sembilan (9) seperti mana juga yang telah dicadangkan daripada Tiram.
Yang Berhormat Datuk Speaker usaha membangunkan potensi ekonomi sesuatu kawasan juga tidak harus diketepikan. Sebagai contoh, tidak ramai yang menyedari Tenang suatu ketika dahulu amat sinonim dengan penghasilan buah-buahan tempatan sehingga mampu menembusi pasaran di negara jiran, Singapura sekitar tahun 70-an dan 80-an. Namun, disebabkan tiada sebarang usaha mana-mana pihak untuk membangunkan dusun-dusun tradisional ini dengan kaedah moden, pemilik mengambil jalan mudah menggantikan pokok buah-buahan dengan tanaman komoditi lain. Malah, tidak kurang juga yang membiarkan dusun milik mereka menjadi belukar dan hanya dibersihkan pada musim buah-buahan yang tidak menentu dan situasi ini amatlah merugikan bukan sahaja kepada pemilik dusun malah kerajaan negeri.
Suka Tenang mengesyorkan agar satu usaha dijalankan bagi membangunkan dusun-dusun tradisional ini dengan kaedah yang lebih moden kerana ianya mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancongan terutama buah mata kucing atau dipanggil buah bidara yang hanya tumbuh subur di bumi Tenang sebelum ini. Antara langkah yang boleh dilakukan termasuklah penglibatan pihak agensi berkaitan dalam menghasilkan klon-klon baharu buah-buahan tempatan selain durian bagi memastikan ianya tidak lenyap begitu sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Haji Ghazi, Menteri Besar Johor di atas pengumuman Belanjawan Johor 2025 dengan kenaikan 100% elaun pegawai masjid dan surau, selain pemberian one-off RM500.00 kepada barisan penggerak DUN dan semua pegawai masjid dan surau di negeri Johor. Kali terakhir kenaikan adalah pada 12 tahun yang lalu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama di atas sokongan dan keprihatinan yang telah diberikan kepada semua masjid dan surau dalam negeri Johor. Bukan sekadar itu sahaja, ini termasuk bagi kerja-kerja baik pulih masjid melalui Tabung Pembangunan Masjid Johor dan ICU Jabatan Perdana Menteri dan ada juga yang telah menerima manfaatnya hasil usaha dan sokongan daripada pihak YB EXCO dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Semarak Subuh yang dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor antara saluran yang amat dekat dengan rakyat, setiap aduan yang dibawa oleh masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kepada setiap ADUN untuk diselami dan diselesaikan. Ini secara tidak langsung masyarakat dapat berjumpa dengan ADUN kawasan secara terus tanpa bertangguh, selain aduan-aduan masyarakat kita juga ada menerima cadangan-cadangan yang positif daripada pihak pentadbiran masjid dan surau supaya menambah baik keperluan dan juga kebajikan masjid dan surau yang ada.
Oleh yang demikian, Tenang percaya besar harapan mereka dan dicadangkan agar kerajaan negeri dapat menambah baik status surau Jumaat ke satu tahap yang lebih baik memandangkan peranan surau Jumaat menyamai dengan peranan masjid pada ketika ini. Penambahbaikan ini adalah dari sudut peruntukan tambahan masjid dan elaun tambahan kepada pegawai yang bertugas di surau Jumaat ini. Maaf, sudut peruntukan tambahan surau Jumaat ini. Selain itu barisan pegawai masjid dan surau ini mengharapkan dapat menambah baik hal ehwal kebajikan mereka. Pada penggal persidangan Dewan yang lalu, telah saya bawakan perkara ini iaitu setiap pegawai masjid dan surau yang mendapat tauliah dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dibuat pemotongan KWSP.
Untuk makluman, mereka telah pun mendapat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial ataupun PERKESO daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri. Caruman ini bertujuan bagi melindungi mereka apabila terlibat dengan kemalangan semasa dalam tempoh waktu bertugas. Mengikut arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam, Peraturan Pengurusan Kewangan dan Aset Masjid dan Surau Negeri Johor 2019, Perkara Nombor 44.3: Akaun Masjid dan Surau Hak Milik Majlis Agama Negeri Johor. Bagi meningkatkan lagi keprihatinan dan kebajikan kerajaan negeri Johor kepada pegawai masjid dan surau ini, Tenang mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam yang mempunyai hak dan boleh berbincang bersama pihak Kumpulan Simpanan Wang Pekerja supaya dapat membuat satu ketetapan kepada pihak masjid sahaja bahawa setiap masjid perlu membuat sumbangan atau caruman KWSP kepada pegawai-pegawai masjid yang bertugas secara bulanan atas nama sebagai majikan. Cadangan sumbangan caruman yang boleh dilakukan secara minimum adalah seperti berikut. Imam 1 dan 2 dicadangkan sebanyak RM100.00, bilal RM50.00 dan noja RM30.00. Sumbangan atau caruman ini boleh dibuat penolakan secara automatik ke akaun KWSP pegawai masjid yang terlibat. Daripada akaun masjid yang telah didaftarkan, ditetapkan oleh pihak KWSP. Pelaksanaan sumbangan caruman ini bagi tujuan sebagai satu imbuhan, simpanan pada masa akan datang, jika mereka sudah tidak lagi bertugas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terakhir sebelum Tenang mengundurkan diri, Tenang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri terutama Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas inisiatif kepada rakyat melalui portfolio yang diterajui oleh Ahli-Ahli EXCO. Antaranya di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah banyak melaksanakan program pemerkasaan wanita termasuk golongan ibu tunggal melalui program 4K iaitu Kemahiran, Keseimbangan, Kewangan dan Kesaksamaan serta Kepimpinan Kendiri. Selain itu, jaringan keselamatan sosial melalui program Woman Cancer Reproductive Awareness (WCARE), Inisiatif Pemberdayaan dan Kelestarian Wanita Negeri Johor. Diadakan juga Hari OKU dan Sambutan Hari Wanita di setiap DUN yang pasti memberi manfaat dan keharmonian dengan penglibatan meriah oleh semua kaum. Di bawah portfolio Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan
dan Koperasi Negeri Johor pula berjaya melahirkan serta membantu ramai usahawan melalui geran Usahawan Maju Johor, bantuan peralatan perniagaan serta inisiatif khemah percuma, usahawan mikro. Selain itu, program Southern Volunteers Prihatin atau Johor Future menyasarkan golongan kurang berkemampuan melibatkan aktiviti gotong-royong, membersih, mengecat serta membaik pulih rumah yang rosak. Sukan Bangsa Johor juga antara program penyatuan Bangsa Johor di samping menjamin tahap kesihatan, ianya juga mendapat sambutan menggalakkan oleh semua lapisan Masyarakat.
Di bawah portfolio Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri pula sentiasa proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat. 55 klinik kesihatan telah dinaik taraf pada tahun lalu. Selain itu, program Bas Klinik Bergerak Maju Johor adalah program yang baik untuk rakyat kerana ianya memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Tidak berniat menidakkan portfolio yang lain. Hakikatnya, semua menunjukkan prestasi kerja yang amat baik, disokong dan didukung oleh ADUN-ADUN kawasan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor tampaknya megah, tenang sungguh menggamit hati; Bangsa Johor terserlah sudah, negeri makmur rakyat harmoni. Akhir kata Tenang mengharapkan semua perkara yang dibangkitkan mendapat perhatian dan tindakan daripada pihak yang bertanggungjawab demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan. Selaras dengan titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tenang juga mendoakan agar kepimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar akan lebih terjulang dan mendahulukan rakyat sepertimana yang dapat kita lihat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Semoga negeri Johor terus maju dan makmur di bawah naungan Duli Tuanku dan kepimpinan kerajaan hari ini. Sekian Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tenang mohon menyokong. (Dewan bertepuk).
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tenang. Dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Salam Sejahtera dan terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker atas kesempatan yang diberi kepada Tangkak untuk bersama-sama berbahas atas rundingan menjunjung kasih titah Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Patik dan seluruh warga DUN Tangkak merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Negeri Johor Yang Ke-15.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak ingin mengangkat satu isu penting yang telah berlarutan sekian lama dan menjejaskan pentadbiran serta pembangunan di daerah Tangkak iaitu status projek pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Daerah Tangkak. Pada sekitar tahun 2008, rakyat daerah Tangkak telah dimaklumkan bahawa sebuah pusat pentadbiran baru akan dibangunkan bersekali dengan pusat pameran gergasi perabot. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Dewan yang mulia ini, pusat pameran gergasi tersebut kini telah disahkan dibatalkan, namun projek pusat pentadbiran yang sepatutnya diteruskan juga masih belum dimulakan sehingga kini. Meskipun telah di umum dan dijanjikan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan daerah. Projek ini diletakkan di bawah tanggungjawab syarikat milik kerajaan negeri yang turut
bertanggungjawab terhadap pembangunan Pusat Pentadbiran Kota Iskandar yang kita berada sekarang.
Namun, sehingga hari ini tiada kemajuan fizikal dapat dilihat di tapak projek. Penduduk dan penjawat awam di daerah ini tertanya-tanya, bilakah bangunan-bangunan kerajaan yang lebih kondusif dan tersusun ini akan menjadi kenyataan. Model pelaksanaan yang dirancang pada asalnya bersifat berfasa, di mana pihak pemaju akan membangunkan komponen komersil dan kediaman terlebih dahulu dan keuntungan yang diperoleh daripada fasa tersebut akan digunakan untuk membina bangunan kerajaan dan agensi negeri. Namun malangnya setelah beberapa tahun berlalu, tiada pembangunan komersial atau kediaman dimulakan. Tiada kerja tanah atau binaan awalan di tapak pusat pentadbiran dan tiada penjelasan awam diberikan kepada rakyat. Ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan model pembiayaan ini.
Oleh itu, Tangkak mencadangkan agar kerajaan negeri segera menilai semula strategi pembangunan projek ini, termasuk menilai semula daya maju model pelaksanaan semasa. Sekiranya perlu, Tangkak cadangkan syarikat milik kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk projek ini, dibenarkan untuk mencari rakan strategik seperti pemaju swasta yang berkeupayaan tinggi untuk membentuk kerjasama awam-swasta, public private partnership dengan izin, demi mempercepatkan pembangunan pusat pentadbiran ini. Kerajaan negeri diminta meneliti semula garis masa dan komitmen kontrak yang telah diberikan kepada pemaju. Dan sekiranya perlu, ambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kepentingan rakyat dan daerah Tangkak terus terpelihara. Projek ini juga boleh diklasifikasikan semula sebagai projek berimpak tinggi untuk daerah luar bandar, sekali gus membolehkan ia memohon pembiayaan atau sokongan teknikal daripada agensi pusat seperti Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah serta Kementerian Ekonomi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keperluan kepada pusat pentadbiran yang baru bukanlah soal kemewahan, tetapi soal kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Pada masa ini, banyak agensi kerajaan di daerah Tangkak masih menggunakan bangunan yang uzur. Ada yang sedang menyewa bangunan kedai, ada juga jabatan terpaksa beroperasi secara berselerak dan tidak tersusun. Ini memberi kesan langsung kepada urusan orang awam serta kecekapan kerja penjawat awam kita. Sekiranya projek pusat pentadbiran ini dapat dimulakan dengan segera, ia bukan sahaja memberi imej baru kepada daerah, tetapi juga dapat menjadikan daerah Tangkak sebagai sebuah hab pentadbiran yang terancang dan moden yang setanding dengan daerah-daerah lain di negeri Johor. Tangkak percaya bahawa masa depan daerah ini bergantung kepada tindakan yang berani dan tegas kerajaan negeri hari ini dalam menstrukturkan semula pelaksanaan projek yang telah lama tertangguh ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selain pembangunan infrastruktur fizikal, Tangkak ingin mencadangkan usaha penjenamaan semula identiti daerah Tangkak melalui pendekatan strategik di lokasi-lokasi tumpuan, terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan. Daerah Tangkak merupakan daerah yang kaya dengan keunikan alam semula jadi, warisan budaya dan potensi pelancongan luar bandar. Gunung Ledang sebagai ikon utama daerah ini, merupakan antara destinasi pendakian dan eko pelancongan yang paling popular di semenanjung Malaysia. Namun begitu, nilai pelancongan dan imej daerah Tangkak masih belum dimaksimakan pada platform berimpak tinggi seperti Lebuhraya Utara Selatan yang menjadi nadi pengangkutan, pergerakan utama rakyat dan pelancongan antara Johor dan
seluruh negara. Oleh itu, Tangkak mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk berunding bersama PLUS Malaysia Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi pemasangan papan iklan ikonik Gunung Ledang. Memandangkan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Yang Berhormat Benut pun ada di sini, harap dapat bantu untuk papan iklan sahaja Dato’.
Papan tanda gergasi yang memperkenalkan Gunung Ledang dan daerah Tangkak boleh di pasang di laluan lebuhraya menuju ke Plaza Tol Tangkak. Papan iklan ini boleh disertai dengan reka bentuk berinspirasi alam semula jadi dan unsur budaya Johor yang menjadikan Gunung Ledang bukan hanya sebagai tarikan fizikal, tetapi juga naratif mitos dan sejarah Johor. Setiap papan tanda boleh mengandungi kod QR yang membawa pelawat ke Laman Pelancongan Rasmi Daerah Tangkak, lengkap dengan video pendek, info tempat makan, homestay, laluan mendaki dan kalendar acara. Ini juga boleh disepadukan dengan aplikasi rasmi pelancongan negeri Johor atau Tourism Malaysia.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Majlis Daerah Tangkak telah membina sebuah kawasan rehat yang dinamakan Pit Stop Tangkak, berhampiran dengan Plaza Tol Tangkak pada tahun lepas. Ia adalah satu pit stop pelancongan moden dan mesra pengguna dilengkapi dengan gerai-gerai makanan, produk IKS dan kraftangan daerah, juga dilengkapi dengan stesen pengecas kenderaan elektrik yang kini menjadi keperluan masa depan pengangkutan. Dengan adanya pit stop ini, bandar Tangkak telah bersedia menjadi perhentian wajib bagi pelancong dan pengguna lebuhraya, sekali gus merangsang ekonomi tempatan dan memperkenalkan daerah kepada pelancong luar. Ini dapat menimbulkan rasa ingin tahu dan daya tarikan kepada pengguna lebuhraya untuk keluar ke bandar Tangkak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, cadangan-cadangan ini adalah sebahagian daripada strategi memposisikan Tangkak sebagai gerbang pelancongan hijau dan budaya di utara Johor. Penjenamaan daerah melalui lebuhraya bukanlah perkara baru. Daerah seperti Taiping, Kuala Kangsar dan Jeli telah melaksanakannya dengan jayany melalui papan tanda dan pit stop yang strategik. Dalam era Johor Digital dan Johor sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan, daerah Tangkak tidak boleh lagi menjadi daerah transit yang dilalui tanpa disinggahi. Sudah sampai masanya untuk kita menyusun strategi promosi yang agresif, berimpak tinggi dan mesra teknologi supaya daerah Tangkak dapat bersaing dan dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa. Tangkak percaya dengan sedikit pelaburan dan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pihak PLUS dan tidak lupa dari bantuan YB Dato’ Benut, projek penjenamaan ini akan memberi pulangan besar kepada ekonomi tempatan. Sekali gus mengangkat daerah Tangkak sebagai mercu pelancongan dan identiti Johor di laluan utama negara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha menjayakan aspirasi Johor Economy Transformation Plan (JETP) dan memperluaskan aktiviti ekonomi bernilai tinggi di seluruh negeri, Tangkak ingin mencadangkan satu inisiatif strategi baru yang mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi kawasan utara Johor iaitu penubuhan sebuah Inland Container Depot (ICD) atau Pusat Dagangan Logistik dikenali sebagai Johor Trading City di daerah Tangkak. Kedudukan geografi Tangkak yang sangat strategik terletak di sepanjang lebuh raya PLUS menghubungkan kawasan industri di Melaka, Muar, Segamat dan Utara Johor, hanya masing-masing jarak dalam 200 kilometer ke Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan juga Pelabuhan Klang melalui jalan raya menjadikannya sesuai sebagai pintu masuk dan keluar kontena darat. Lokasi yang dicadangkan juga berdekatan dengan zon
pertumbuhan seperti Muar Furniture Hub dan kawasan perindustrian Bandar Tangkak. Dengan potensi ini, bandar Tangkak mempunyai semua ciri penting untuk dibangunkan sebagai ICD. Sebuah terminal kontena di pendalaman yang berperanan sebagai pusat pengumpulan, pengagihan dan pemeriksaan kargo sebelum dan selepas penghantaran pelabuhan.
Penubuhan sebuah ICD di bandar Tangkak boleh memberi pelbagai manfaat seperti menarik pelaburan sektor logistik dan pengangkutan ke utara Johor. Mengurangkan kesesakan dan kebergantungan terhadap pelabuhan utama serta memberi pilihan kepada pengeksport dan pengimport dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor Utara. Kewujudan ICD menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang logistik, teknologi maklumat, pengurusan rantaian bekalan dan pengendalian gudang serta menjana pendapatan hasil negeri dan PBT melalui levi, lesen dan aktiviti berkaitan. Sebagai pelengkap kepada ICD, bandar Tangkak juga boleh menjadi lokasi kepada Johor Trading City, satu pusat niaga digital dan fizikal yang menghimpunkan gudang penyimpanan dan pemprosesan IKS serta perniagaan eksport kecil.
Platform e-Dagang dan eksport digital berasaskan produk Johor dan selatan semenanjung, ruangan pameran kekal untuk produk made in Johor seperti produk-produk makanan, perabot, tekstil dan barangan-barangan OEM. Ini sejajar dengan hala tuju ekonomi digital di Johor. Dan hasrat untuk mengantarabangsakan produk IKS melalui e-Commerce, eksport mikro dan sistem sokongan logistik moden. Tangkak mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Invest Johor, IRDA atau JBiotech mempelopori perbincangan awal bersama pemain industri logistik dan pelabur tempatan serta asing bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan dalam tempoh terdekat, menyusun pakej insentif pelaburan termasuk pengecualian cukai dan pembiayaan infrastruktur asas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, penubuhan ICD dan Johor Trading City bukan sahaja akan mengubah lanskap ekonomi bandar Tangkak, malah akan menjadi pemangkin kepada transformasi Johor Utara sebagai pemain logistik serantau. Sekali gus memperkukuhkan rangkaian bekalan ASEAN dari selatan semenanjung Malaysia. Sebagai sebuah daerah yang sebelum ini terkenal dengan pertanian dan tekstil, bandar Tangkak kini bersedia untuk melangkah ke era ekonomi bernilai tinggi, melalui pembangunan infrastruktur logistik dan perdagangan yang moden, inklusif dan berimpak besar. Tangkak percaya inisiatif ini jika disokong kerajaan negeri akan menjadikan Johor lebih seimbang dalam agihan pembangunan antara selatan, tengah dan utara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Tangkak menambah satu lagi perkara yang amat dekat dengan keperluan rakyat iaitu isu perumahan mampu milik dan perancangan bandar yang inklusif. Daerah Tangkak masih kekurangan penawaran perumahan mampu milik yang mencukupi terutamanya untuk golongan B40 dan M40 muda yang baru memulakan kerjaya. Ramai anak muda yang berasal dari bandar Tangkak terpaksa membeli rumah di luar daerah dan luar negeri kerana harga rumah yang ditawarkan di kawasan bandar adalah terlalu tinggi dan tidak sepadan dengan kemampuan pendapatan mereka.
Tangkak mencadangkan agar projek pembangunan pusat pentadbiran yang dirancang sebelum ini diselarikan dengan pembangunan perumahan mampu milik secara bersepadu. Kawasan-kawasan sekitar pusat pentadbiran dan komersial harus diperuntukkan kepada skim rumah mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tadika, taman-
taman permainan dan dewan-dewan komuniti. Selain itu, Tangkak juga menyarankan agar pembangunan rumah sewa kerajaan atau skim sewa milik turut dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan keluarga muda yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
Tangkak menyeru agar semua perancangan pembangunan fizikal sama ada pusat pentadbiran, komersial, pelancongan atau ekonomi perlu dirangka dengan pendekatan berpusatkan rakyat di mana isu perumahan tidak ditinggalkan sebagai perkara sampingan, tetapi menjadi tulang belakang kepada kesejahteraan komuniti.
Akhir kata Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan adanya pembangunan yang seimbang antara pentadbiran, pelaburan, pelancongan dan tempat tinggal. Tangkak yakin, daerah Tangkak akan menjadi sebuah daerah maju dan selesa didiami yang mencerminkan aspirasi kerajaan negeri untuk menyediakan kehidupan berkualiti kepada semua rakyat Johor. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Dipersilakan Yang Berhormat Mahkota.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada Mahkota untuk berbahas dan Mahkota mulakan dengan memanjatkan kesyukuran ke hadrat-Nya bersama ingatan Yang Maha Esa. Maka dengan itu, kita dapat bersama di dalam Dewan yang mulia ini untuk mesyuarat pertama bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan mencemar duli bagi merasmikan Persidangan Dewan pada tahun ini. Sesungguhnya ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor lengkap dengan nasihat, teguran, pandangan yang akan diingati dan disemati oleh semua Ahli Yang Berhormat. Di samping itu, patik juga ingin mengucapkan tahniah ke atas kejayaan ke bawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor menerajui pasukan JDT yang menjuarai Liga Super kali yang ke-11. Patik mendoakan agar pasukan JDT terus melakar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.
Sebelum Mahkota memulakan perbahasan izinkan saya mulakan dengan serangkap pantun. Maju Johor aspirasi bersama, menjulang cita rakyat jelata. Yang Berhormat Datuk Speaker tentu saksama, mohon Mahkota membuka kata.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Orang Muda Johor merupakan faktor utama dalam mencorakkan masa depan sesebuah negeri mahupun negara. Malah, di negeri Johor Orang Muda Johor turut diukir menjadi salah satu teras dalam agenda Maju Johor 2030. Hasrat dan ruang perlu diberi kepada Orang Muda untuk menjadi golongan yang berdaya saing, berwawasan dan versatile. Saya yakin dan percaya bahawa kerajaan negeri Johor sentiasa menitikberatkan segala aspek berkaitan Orang Muda Johor. Perkara ini telah diterjemahkan melalui 49 inisiatif yang diperkenalkan dalam Bajet Johor 2025 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada bulan November tahun lepas.
Melalui 49 Inisiatif ini, pelbagai aspek telah dirangkumkan termasuk keusahawanan, akademik, teknologi, sukan, pembangunan sahsiah dan fasiliti. Ianya dilihat sebagai satu improvisasi terbaik dari inisiatif yang diperkenalkan sebelum ini. Salah satu yang dilihat
mampu memberi impak besar kepada Orang Muda Johor adalah melalui inisiatif yang ke-40 iaitu Jawatankuasa Pilihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Jawatankuasa ini mampu memberi pelbagai manfaat seperti mewujudkan lonjakan peluang pekerjaan untuk orang muda yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan digital. Dalam perihal ini, Mahkota ingin mencadangkan agar kerajaan negeri memperluaskan lagi perkongsian maklumat mengenai JS-SEZ di setiap lapisan masyarakat dan juga di kawasan di pelosok di negeri Johor ini agar mereka dapat tahu manfaat yang terdapat di dalam JS-SEZ ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesinambungan dari pewujudan zon khas ini, Mahkota ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor kerana mewujudkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilihat sangat signifikan bagi mengimbangi dengan izin, demand and supply atas permintaan tenaga mahir yang bakal ditawarkan di JS-SEZ. JTDC ini dilihat bakal mengubah lanskap masa depan belia Johor dengan menyelaraskan pendidikan dan latihan mengikut keperluan industri melalui skill for Johor. Inisiatif ini juga bukan sahaja bakal mengurangkan kadar pengangguran di kalangan mahasiswa mahupun belia awam, malah mencipta lebih ramai tenaga mahir dan menawarkan prospek pekerjaan dengan gaji yang premium untuk Orang Muda Johor. JTDC adalah satu inisiatif yang wajar dipuji kerana modal program yang disusun adalah sistematik seperti gegar, promahir dan perintis yang menjadi modul pendidikan ini lebih mudah dipelajari dan mampu menarik minat orang muda untuk menyertainya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, infrastruktur merupakan satu game changer bagi mengubah ekosistem sesebuah kawasan. Malah, ke bawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor juga berharap agar infrastruktur di negeri Johor ini dapat dinaik taraf demi keselesaan rakyat Johor. Istimewanya di negeri Johor ini kita mempunyai dua (2) penaiktarafan infrastruktur yang bersifat mega iaitu RTS dan ETS yang bakal memberi impak yang besar kepada Anak Muda Johor. Antara manfaat yang bakal dirasai oleh Orang Muda Johor adalah dari segi accessibility, peluang pekerjaan, pendidikan dan kualiti hidup yang baik. Dengan kemudahan pengangkutan yang bertambah maju, Orang Muda Johor bukan sahaja dapat mencari peluang di luar negeri malah mampu memperkaya pengalaman hidup mereka dalam persekitaran yang lebih dinamik dan berkembang. Infrastruktur ini bakal menjadikan Johor lebih berhubung dengan dunia luar dan membuka ruang untuk anak muda menyertai perkembangan ekonomi serantau dan global. Namun demikian, Mahkota ingin bertanya bagaimana kerajaan negeri melihat perihal pusat pengangkutan darat terutamanya kawasan-kawasan yang tidak terlibat dengan ETS dan RTS, sebagai contoh stesen bas awam yang bertempat di kawasan luar bandar kerana ianya juga penting bagi sesetengah daerah yang dilihat memerlukan penaiktarafan mengikut permintaan semasa, malah ianya mencerminkan keseimbangan pembangunan infra secara menyeluruh di negeri Johor.
Sebagai contoh, stesen bas di Mahkota yang dilihat berpotensi untuk dijenamakan semula menjadi Kluang Sentral. Ianya perlu ditambah baik peranannya yang bukan lagi hanya tempat perhentian bas, malah, ruang rehat ianya boleh dijadikan juga ruang rehat bagi food rider, pusat pengecasan EV yang boleh ditempatkan sekali agar golongan ini merasakan pusat pengangkutan darat yang lebih inklusif kepada semua golongan dan mesra pengguna.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Rasulullah SAW pernah bersabda, sembilan dari sepuluh rezeki berada pada perniagaan. Kerajaan Negeri Johor dilihat sentiasa komited bagi menggalakkan Orang Muda Johor menceburi bidang perniagaan mahupun usahawan. Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan sebagai contoh, inisiatif yang ke-49 sebanyak RM2.5
juta telah diperuntukkan bagi Usahawan Maju Johor termasuk golongan usahawan di kalangan belia. Seterusnya, inisiatif yang ke-50 sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan, ini juga banyak melibatkan dengan golongan belia. Malah, Program BR Johor Niaga yang merupakan program kerjasama antara agensi bersama Bank Rakyat telah membantu seramai 579 usahawan mikro dengan pembiayaan sebanyak RM22.25 juta dan 65 usahawan PKS telah menerima pembiayaan sebanyak RM20.95 juta dari 2022 hingga 2025.
Manakala khusus kepada usahawan di kalangan belia negeri melalui inisiatif yang ke-52, sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan khas untuk Programme Mentor-Mentee Youth Entrepreneurship melalui inisiatif ke-48 sebanyak RM3 juta diperuntukkan sebagai inisiatif khemah usahawan mikro. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli Yang Berhormat semua, alhamdulillah baru-baru ini saya berkesempatan untuk turut serta dalam Program Penyerahan Khemah kepada peniaga pasar malam dan penjaja yang juga diadakan serentak di lapan kawasan PBT yang lain. Saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor melalui PUJB telah mengagihkan sebanyak 6,000 unit khemah kepada penjaja dan juga usahawan di seluruh negeri Johor.
Langkah ini dianggap sebagai satu usaha yang bagus dalam memperkasakan ekonomi pro-rakyat melalui sokongan fasiliti niaga yang lebih konduktif dan teratur malah turut dirasai hingga penjaja jalanan di negeri Johor. Saya sendiri dapat melihat betapa terujanya para penerima menerima bantuan tersebut walaupun ianya sekadar khemah, tetapi jelas terpancar perasaan bersyukur di wajah mereka. Saya ingin mengambil peluang ini ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Larkin selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor atas usaha ini dan diharapkan agar usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Selain daripada PUJB, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) juga dilihat antara entiti yang menawarkan bantuan usahanita termasuk golongan beliawanis yang ingin memulakan perniagaan. Mereka ditawarkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas bagi memulakan perniagaan, malah mereka juga diberi kursus bagi memantapkan ilmu pengetahuan baik dari segi teknikal mahupun pengurusan perniagaan supaya mereka lebih sistematik dalam mengatur perjalanan perniagaan mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana merealisasikan impian mewujudkan Sekolah Rintis Bangsa Johor, yang terdiri dari dua sekolah rendah dan sekolah menengah. Saya dimaklumkan sekolah ini memberi tumpuan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris. Selain dari sekolah rintis tersebut, Orang Muda Johor perlu dibentuk, diberi bimbingan dan dorongan dalam membentuk daya intelek serta keperibadian sahsiah yang tinggi. Justeru, saya sangat setuju pada inisiatif yang ke-10 sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi program The Onn Leadership Accelerator dan Johor Apprentice bagi membina pelapis kepimpinan yang berkualiti pada masa akan datang.
Dari segi tahap kemahiran pula, kerajaan telah mewujudkan inisiatif yang ke-28 iaitu sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi program bantuan peralatan kepada pusat pendidikan dan latihan untuk menyediakan bantuan geran kepada empat pusat pendidikan dan latihan iaitu Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, JSkills Politeknik
Mersing dan ILP. Inisiatif tersebut mengikut keperluan semasa dan juga melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi sesuai dengan permintaan pasaran pekerjaan semasa.
Walau bagaimanapun, penerapan nilai kenegaraan juga perlu disulam bersama, sebagai contoh memperkasakan pengertian Rukun Negara serta asas perlembagaan agar anak muda negeri Johor ini lebih berjiwa kebangsaan dan mampu mewujudkan generasi yang lebih muafakat dalam kemajuan. Sehubungan itu, Mahkota mencadangkan agar satu subjek tambahan yang melibatkan kenegaraan mampu dilaksanakan melalui Sekolah Rintis Bangsa Johor untuk mendidik anak Johor supaya bersifat patriotik walaupun hidup dalam dunia yang serba maju dan moden.
Yang Berhormat Datuk Speaker, golongan belia memerlukan fasiliti untuk mereka beriadah melakukan aktiviti sihat bersama. Mahkota mewakili seluruh Anak Muda Johor menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana mengilhamkan TMIYC sebagai tanda sokongan padu Tunku Mahkota Ismail terhadap anak muda Johor. TMIYC dilihat bakal menjadi hab orang muda bagi mereka melakukan aktiviti mereka di tempat yang disediakan dengan kelengkapan peralatan serba canggih dan moden. Difahamkan bahawa TMIYC yang pertama telah siap dibina di Johor Bahru dan dirasmikan sendiri oleh Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor pada tahun 2020. Seterusnya TMIYC di Simpang Renggam pada bulan Mac 2024 dan yang terbaharu TMIYC, Muar yang telah siap dan dirasmikan pada Oktober 2024. Manakala TMIYC yang berstatus dalam pembinaan sebagai contoh TMIYC Pasir Gudang, TMIYC Iskandar Puteri dan TMIYC Tangkak. Fasiliti seperti ini akan mewujudkan persekitaran yang produktif dan sihat buat Orang Muda Johor. Dari segi konteks sukarelawan, kerajaan melalui Southern Volunteers diwujudkan bertujuan untuk melibatkan sukarelawan belia dalam menambah baik komuniti servis di dalam negeri Johor antaranya program Johor Future. Program ini menyasarkan golongan yang kurang berkemampuan yang melibatkan aktiviti gotong-royong membersihkan, mengecat dan membaik pulih rumah yang rosak bersama komuniti setempat. Ia juga melibatkan aktiviti baik pulih dan mengubah suai rumah khusus di 56 kawasan DUN di sekitar negeri Johor. Melalui program ini, anak muda dan belia secara tidak langsung didedahkan mengenai khidmat masyarakat secara terus di lapangan awam untuk mendekati golongan yang tidak bernasib baik dan pada masa yang sama dapat mewujudkan semangat saling bantu membantu tanpa mengharapkan balasan dari mana-mana pihak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, secara keseluruhan bermula dari awal ucapan Mahkota hinggalah ke akhir, Mahkota ingin menzahirkan ucapan tahniah buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, seluruh barisan EXCO, Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri, seluruh Pegawai Tadbir Negeri Johor atas sokongan dan dokongan bagi bersama-sama memberi perkhidmatan yang terbaik untuk memastikan seluruh Bangsa Johor merasai bukan sahaja pembangunan dari ekonomi malah dari segi pembangunan modal insan. Kerajaan Johor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ketika ini sedang dipacu dengan baik seiring dengan aspirasi Maju Johor 2030, di mana segala pentadbiran, segala urusan pentadbiran negeri berjalan dengan sistematik dan expensive. Saya akan memastikan bahawa Mahkota akan terus memainkan peranan sebagai Wakil Rakyat di bawah kerajaan negeri bagi merealisasikan Agenda Maju Johor 2030. Semoga golongan belia di negeri Johor ini terus melangkah dan berkembang ke arah yang lebih baik
dan maju. Impaknya, cukup besar untuk menjadikan Agenda Maju Johor 2030 sebagai satu realiti yang indah untuk semua.
Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan Mahkota menutup perbahasan dengan serangkap pantun. Anak muda bergerak sama, berlari mudik ke sana merata. Tekad hati menjadi pertama, Maju Johor menjadi nyata. Kepada Allah kita berserah, Mahkota mohon menyokong.Sekian wabillahitaufik walhidayah, assalamalaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Mahkota. Ahli-Ahli Yang Berhormat dijemput Yang Berhormat Layang-Layang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Alhamdulillah (berselawat). Yang Berhormat Datuk Speaker saya memulakan perbahasan pada saya pada hari ini mewakili N27 Layang-Layang, dengan membaca satu surah iaitu satu ayat daripada Surah Ali-Imran, ayat: 112, yang bermaksud mereka (manusia) akan ditimpakan dengan kehinaan dari segenap bidang melainkan adanya hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia dan sepatutnya mereka ini ditimpakan dengan kemurkaan Allah dan mereka juga ditimpakan juga dengan kemiskinan bila akhir hayat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kerana diberi peluang dalam perbahasan kali ini. Pertamanya saya ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih pada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sudi mencemar duli berangkat merasmikan dan tertitah di dalam pembukaan Dewan Negeri baru-baru ini. Di dalam titah Duli Yang Amat Mulia Tunku ada menyatakan bahawa keutamaan Duli Yang Maha Mulia Tunku agar kerajaan mempertingkat bidang ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker sebagai sebuah kerajaan, yang dipilih oleh rakyat hari ini sudah menjadi tanggungjawab, tanggungjawab kewajipan yang mesti dilaksanakan dan tidak boleh diabaikan kerana ianya adalah amanah. Semuanya akan ditanya oleh Allah SWT, akan ditanya tentang amanah itu tadi, jadi kali ini dah masuk Persidangan yang ke-4, masuk tahun yang ke-4 kerajaan negeri yang diwujudkan pada hari ini.
Jadi persediaan tentang ekonomi ini telah pun kita dengar sahabat-sahabat daripada Wakil-Wakil Rakyat dan begitu juga yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam sesi soal jawab pada pagi tadi. Memang ini adalah tanggungjawab kerajaan. Yang pertama sekali apabila ia mempertingkatkan soal ekonomi, sudah tentu akan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak. Bila ekonomi meningkat, peluang pekerjaan yang banyak. Yang kedua ia akan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat negeri Johor. Yang ketiga ia akan menjana pendapatan negeri. Seterusnya yang keempat akan meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur. Ekonomi meningkat, pastilah kemudahan infrastruktur itu akan bertambah baik. Yang kelima, yang keempat mengurangkan pergantungan rakyat kepada barang-barang import. Yang kelima akan mempengaruhi perkembangan sesuatu penempatan. Hari ini Alhamdulillah kalau kita lihat negeri Johor ini berkembang, banyak perumahan, kawasan perumahan yang dibuka terutamanya yang dibangunkan oleh kerajaan negeri pada hari ini, pembangunan Rumah Mampu Milik Johor.
Di kawasan saya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah pun dan sedang berlangsung sekarang ini satu perumahan, satu bentuk pembangunan perumahan di kawasan Renggam yang lebih kurang 80 unit Rumah Mampu Milik Johor. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Begitu juga di kawasan Layang-Layang telah pun siap dan Insya Allah akan diserahkan sijil kelayakan kepada 31 Mei ini, iaitu lebih kurang 125 unit yang telah dibangunkan oleh KEJORA, walaupun projek ini sudah tergendala sekian lama, tapi Alhamdulillah di atas keprihatinan hari ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan akhirnya ianya dapat disiapkan. Alhamdulillah, terima kasih banyak, syukur kepada Allah SWT.
Saya ingin membawa satu riwayat hadis Nabi Muhammad SAW tentang kebitaraan dan juga kebijaksanaan. Ini pasal kerajaan tadi ini. Satu ketika hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Imam Muslim. Satu ketika sahabat Rasulullah SAW melihat sahabatnya sedang mengahwinkan atau pun mencantumkan pohon kurma. Lalu ditanya oleh Rasulullah SAW apakah yang kamu lakukan ini? Maka sahabat Rasulullah mengatakan bahawa kami mencantumkan pohon kurma ini supaya kurma itu lebih baik. Selalu kita dengar cerita ini, tetapi ada satu perkara yang kita jarang dengar. Rupanya Rasulullah SAW dalam hadis ini pernah mengatakan bahawa, dia kata kalau kamu tidak cantumkan pun memang kurma ini akan jadi baik. Ha itu dia. Dia kata kamu tidak cantum pun dia akan jadi baik. Jadi sahabat ini tidak jadi cantumkan sebab Rasulullah kata tidak cantum pun jadi baik. Jadi bila sudah menghasilkan buat, maka di bawa kepada Rasulullah. Ya Rasulullah, pohon kurma yang kami tidak cantumkan tadi ini buahnya tidak jadi baik. Maka Rasulullah kata kalau begitu kamu cantumkanlah, maka keluarlah hadis daripada Nabi Muhammad SAW, (bacaan ayat hadis) kamu lebih tahu akan urusan keduniaan kamu. Jadi maknanya kerajaan yang ada pada hari ini dia tahu apa yang dia nak buat.
Setiap program-program yang dia nak buat itu yang dilaksanakan itu dan sedang dilaksanakan dan telah pun dilaksanakan itu, dia sudah tahu apakah kebaikannya. Banyak perkara yang kalau kita lihat pada hari ini tuan-tuan bukan saya nak menyebutkan perkara ini nak mengangkat, tidak. Tapi saya lihat sebab ini feedback daripada masyarakat banyak. Tentang soal perumahan, kita tidak payah sebutlah tentang pelaburan, suku tahun pertama ini sudah dekat RM28 bilion. Saya nak tahu impak dia sahaja, kesan dia nanti. Bila kemajuan ekonomi itu pasti akan ramai yang akan dapat manfaat daripada itu. Banyak perkara yang boleh dibangunkan oleh kerajaan. Bagaimana contohnya hari ini kerajaan menyasarkan lebih kurang 70,000 unit. 70,000 unit Rumah Mampu Milik. Ini yang sekarang ini sangat diperlukan oleh rakyat. 70,000 unit ini akan disiapkan sehinggalah tahun 2027. Mudah-mudahan ianya akan dapat direalisasikan. Begitu juga apa yang disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, FELDA bahawa sekarang ini kelulusan telah pun diberikan kepada tanah, kepada generasi muda, cuma saya minta di kawasan FELDA Layang-Layang kami ada 129 Generasi Kedua FELDA yang masih menunggu dan bila saya hantar gambar slide yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Buluh Kasap, dia kata kawasan kita bila YB nak diluluskan. Mereka tidak sabar nak tunggu keputusan. Jadi mudah-mudahan pada tahun ini, perkara ini akan dapat diluluskan.
Satu lagi nak sebut, soal ekonomi bila meningkat, pastilah kutipan zakat akan meningkat. Tak begitu YB Semerah? Tahun lepas 2024 kutipan zakat RM412 juta. Betul ya? Ok. Agihannya RM204 juta kepada 170,772 orang. Ha ini yang kita nak dengar ini. Maknanya ada separuh lagi ini. YB Fared. Bila ekonomi meningkat, banyak orang bayar zakat. Zaman
Khalifah Umar Abdul Aziz dulu, semasa dia menjadi Khalifah, nak bayar zakat tidak ada orang miskin. Sekarang ini zakat ada, orang miskin pun ada. Masa saya jadi Pengerusi Jawatankuasa Agama dulu, saya selalu cakap cari orang-orang yang susah, sebab kamu ini ada kerja kerana adanya orang-orang yang susah. Maka kamu ada disitu. Oleh itu tuan-tuan dan puan-tuan, Yang Berhormat Datuk Speaker, 170,000 orang ini mungkin berbagai-bagai bentuk asnaf, saya minta masih ada lagi baki separuh, mungkin Pengerusi Jawatankuasa Agama boleh fikirkan balik tentang Sekolah-Sekolah Agama yang sekarang yang daif. Yang Berhormat Fared masa ucapan beliau, mengumumkan keputusan Sekolah Agama Darjah Khas di Penjara Simpang Renggam baru-baru ini dia ada menyebut ada pelajar-pelajar yang tidak pergi ke sekolah agama sebab dia melihat persekitaran sekolah agama tidak sama seperti di sekolah kebangsaan. Tidak kondusif katanya. Banyak kemudahan-kemudahan yang tidak ada. Saya minta kepada pihak kerajaan perhatikan tentang perkara-perkara ini supaya ianya dapat dibaikpulih.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak pendekkan masa. Di tempat saya ini ada masih lagi satu perkara yang saya lihat, kawasan banjir di Taman Senda. Baru-baru ini dalam satu mesyuarat, kita minta supaya diadakan satu takungan di Ladang See Sun di Renggam itu supaya airnya tidak direct turun ke parit dan melimpah. Cuma oleh kerana tanah itu tanah ladang, dia kita minta pada kerajaan supaya mungkin membuat satu bentuk pengambilan balik tanah dan pihak kerajaan membuat satu takungan untuk mengelakkan supaya air turun dengan lebat apabila hujan turun lebat, air turun melimpah dan menyebabkan banjir di kawasan Senda.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara yang kedua ingin saya bawa kepada pihak kerajaan pada hari ini iaitu di kawasan saya. Isu berkaitan dengan pengambilan balik tanah di kawasan industri kecil Layang-Layang. Perkara ini penting sebab ianya satu bentuk untuk kita nak menjana ekonomi. Walaupun Layang-Layang ini kalau kita lihat jauh daripada kawasan bandar yang sedang maju, pesat membangun, tapi dia sangat dekat dengan Sedenak. Dan sekarang ini sedang pembangunannya sedang melimpah. Sekarang ini orang cari rumah sewa, kerja di Sedenak itu di kawasan data center itu, cari rumah sampai ke FELDA Layang-Layang cari rumah sewa. Maknanya FELDA saya ini pun sekarang ini sudah popular jugalah. Maknanya orang sudah kenal bahawa ada satu FELDA rupanya dalam DUN Layang-Layang. Jadi minta supaya pihak kerajaan ini tadi ini apa jua bentuk pembangunan ekonomi yang boleh memberi impak hasil kepada kerajaan, yang kedua memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dan pulangannya itu banyak. Rantaian daripada itu nanti akan banyak. Mesti akan ada kedai-kedai orang boleh berniaga, pasar-pasar malam meriah. Orang kampung sekarang kalau pasar malam dia meriah sebab hasil sawit tengah naik. Memang meriah, mana-mana saya pergi. Alhamdulillah kawasan tersebut kawasan-kawasan pasar malam, pasar lambak, ramai orang datang berbelanja sebab kocek mereka penuh. Kalau kocek mereka kering, pastinya yang berniaga itu pun kocek kering juga.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan tempoh yang diberikan kepada saya pada hari ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih diatas peluang yang hujung-hujung ini, mudah-mudahan apa yang dibahaskan, apa yang saya bawa pada hari ini akan didengari dan mudah-mudahan juga pada seluruh Pengerusi Jawatankuasa yang mengambil tindakan segera di atas segala bentuk permasalahan saya minta mohon, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi bantu, begitu juga jalan-jalan Yang Berhormat EXCO JKR juga banyak, jalan masuk FELDA pun sudah cantik, jalan luar sekitar Batu 37 hingga Batu 42 pun sudah
cantik. Kawasan-kawasan itu jadi itulah kawasan-kawasan yang selalu berlakunya kemalangan jalan raya. Alhamdulillah hari ini telah pun dilaksanakan dengan baik, lampu-lampu jalan. Terima kasih juga kepada YB Hairi kerana berikan juga khemah kepada peniaga-peniaga yang baru tahun lepas kena dengan musibah ribut. Alhamdulillah terima kasih banyak. Jadi mudah-mudahan Allah SWT akan memelihara kita dan juga akan sentiasa mengurniakan nikmat yang sangat banyak kepada negeri Johor Darul Takzim. Akhirnya saya ingin membaca satu ayat Al-Quran, (bacaan ayat Al-Quran). Dialah Allah yang sangat sebaik-baik penjaga dan Dia lagi Maha Pemurah. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Layang-Layang mohon menyokong. Terima kasih.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Layang-Layang atas ceramah dan saranan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, 21 Mei 2025 jam 9.30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 5.08 minit.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Saniah binti Kasim Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain
Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 20 Mei 2025
VERBATIM